"Peka Bahasa Melayu di Tempat Awam (Penamaan)\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nOleh Norsuhaila Ibrahim\nKUALA LUMPUR: Pada 9 Februari 2021, rancangan \u201cPeka Bahasa: Penggunaan Bahasa Melayu di Tempat Awam (Penamaan)\u201d bersiaran menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP. Pengendali rancangan ini ialah Encik Rafiq Abdul Rahman, Pegawai Bahagian Multimedia, bersama-sama tetamu yang diundang, iaitu Puan Rohayu Ismail, Perancang Bahasa di Bahagian Penguatkusaan, DBP.\nDalam siaran tersebut, penonton diberikan penerangan tentang peranan Bahagian Penguatkuasaan berhubung dengan peranannya dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di tempat awam. Menurut Puan Rohayu, Bahagian Penguatkuasaan tidak ada kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang tetapi hanya diberi kuasa untuk \u00a0menegaskan peruntukan bahasa, memberikan perkhidmatan nasihat bahasa, memberikan teguran kepada masyarakat sekiranya berlaku ketidakakuran dan kesalahan menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul dan sebagainya.\nDalam sektor awam dan sektor swasta, DBP menitikberatkan sebarang program dan pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan penjawat awam dan pekerja swasta. Hal ini merangkumi kerjasama dengan sektor pelancongan, kepenggunaan, perbankan dan lain-lain. Sekiranya mereka tidak akur menggunakan bahasa Melayu dengan betul, maka DBP berhak untuk memberikan teguran. Bagi orang awam pula, DBP berperanan untuk memberikan nasihat, bimbingan dan mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk memperkasakan bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan betul.\nBagi urusan penamaan bangunan, syarikat, perumahan, tempat awam dan jalan, DBP bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). DBP juga telah menyediakan buku panduan menamai syarikat, bangunan, kawasan perumahan dan tempat awam. Di samping itu, DBP akan turut memantau penggunaan bahasa Melayu yang betul pada papan tanda dan akan membuat teguran kepada pihak berkenaan sekiranya tidak menggunakan bahasa Melayu dengan betul.\nPautan:https://www.facebook.com/DBPMalaysia/videos/vb.109573169113660/742622793052972/?type=2&theater" "Kata Tanya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMenurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, kata tanya tergolong sebagai kata praklausa, iaitu kata yang terletak di hadapan klausa. Klausa ialah satu unit rangkaian perkataan yang mengandungi subjek dan predikat, yang menjadi konstituen kepada ayat. Tugas kata tanya adalah untuk menimbulkan pertanyaan. Selain itu, kata tanya dikatakan hadir dalam ayat sebagai sebahagian daripada predikat. Kedudukan kata tanya dalam konteks ayat tanya. Sila lihat contoh yang berikut:\n\u00a0 1a. Harga barang itu berapa? Jika dianalisis ayat tanya tersebut, kata tanya berapa hadir sebagai predikat ayat. Selain itu, kata tanya berapa dapat diganti secara paradigmatik dengan frasa nama seperti sepuluh ringgit. Oleh itu, kata tanya berapa dapat dikategorikan sebagai kata ganti nama tanya, sama seperti kata apa, siapa dan mana. Sila lihat contoh yang berikut:\n\u00a01b. Harga barang itu sepuluh ringgit?\u00a0 (FN + FN) Ayat 1a dapat juga disongsangkan dengan pendepanan predikat dan penambahan partikel penegas \u2013kah. 1c.\u00a0 Berapakah harga barang itu? Bagaimanakah pula keadaannya dengan kata tanya bila? Sila lihat contoh ayat yang berikut: 2a. Hari perkahwinannya bila? Dalam ayat 2a, kata tanya bila berada pada kedudukan predikat ayat. Selain itu, kata tanya bila juga dapat diganti dengan frasa nama seperti kata esok. Oleh itu, dalam hal ini, kata tanya bila dapat berfungsi seperti kata ganti nama tanya. Sila lihat contoh yang berikut:\n2b. Hari perkahwinannya esok?\u00a0 (FN + FN) Selain itu, kata tanya bila juga dapat diganti dengan frasa sendi nama seperti pada hari Sabtu. Sila lihat contoh yang berikut: 2c. Hari perkahwinannya pada hari Sabtu?\u00a0 (FN + FS) Dari segi kedudukannya, kata tanya bila dapat juga berada di belakang atau di hadapan klausa. Sila lihat contoh yang berikut: 2d. Hari perkahwinannya akan ditetapkan bila? 2e. Bilakah hari perkahwinannya akan ditetapkan? Dalam ayat 2d, kata tanya bila merupakan kata pascaklausa, iaitu hadir di belakang klausa hari perkahwinannya akan diadakan. Dalam ayat 2e pula, kata tanya bila merupakan kata praklausa, iaitu kedudukannya mendahului klausa hari perkahwinannya akan ditetapkan. Kata tanya bila sebagai kata praklausa dan pascaklausa dapat diganti dengan frasa atau klausa keterangan. Sila lihat contoh yang berikut: 2f.\u00a0 Hari perkahwinannya akan ditetapkan pada minggu hadapan? 2g. Hari perkahwinannya akan ditetapkan selepas semua ahli\u00a0 keluarganya berkumpul? Dalam ayat 2f, kata ganti nama bila diganti dengan frasa keterangan pada minggu hadapan, manakala dalam ayat 2g, kata tanya bila diganti dengan klausa keterangan selepas semua ahli keluarganya berkumpul. Sekarang kita beralih kepada kata tanya bagaimana. Sila lihat contoh yang berikut: 3a. Keadaan ayahnya bagaimana? Dalam ayat 3a, kata tanya bagaimana berada pada kedudukan predikat ayat.\u00a0 Selain itu, kata tanya bagaimana juga dapat diganti dengan frasa adjektif seperti kata stabil. Sila lihat contoh yang berikut: 3c. Keadaan ayahnya stabil?\u00a0 \u00a0(FN + FA) Kata tanya bagaimana dapat juga menjadi kata pascaklausa dan kata praklausa. Sila lihat contoh yang berikut: 3d. Awak menjawab soalan ini bagaimana? 3e. Bagaimanakah awak menjawab soalan ini? Dalam ayat 3d, kata tanya bagaimana ialah kata pascaklausa, iaitu hadir di belakang klausa awak menjawab soalan ini. Dalam ayat 3e, pula, kata tanya bagaimana merupakan kata praklausa, iaitu kedudukannya mendahului klausa awak menjawab soalan ini. Kata tanya bagaimana sebagai kata praklausa dan pascaklausa dapat diganti dengan frasa atau klausa keterangan. Sila lihat contoh yang berikut: 3f. Awak menjawab soalan ini dengan bantuan kakak awak? 3d. Awak menjawab soalan ini selepas (awak) berbincang dengan kawan- kawan? Dalam ayat 3f, kata ganti nama bagaimana diganti dengan frasa keterangan dengan bantuan kakak awak, manakala dalam ayat 3g, kata tanya bagaimana diganti dengan klausa keterangan selepas (awak) berbincang dengan kawan-kawan. Kata tanya yang seterusnya ialah kata mengapa. Marilah kita lihat kewujudannya dalam ayat tanya yang berikut: 4a. Dia tidak hadir mengapa? 4b. Mengapakah dia tidak hadir? Dalam ayat 4a, kata tanya mengapa ialah kata pascaklausa, iaitu hadir di belakang klausa dia tidak hadir. Dalam ayat 4b pula, kata tanya mengapa merupakan kata praklausa, iaitu kedudukannya mendahului klausa dia tidak hadir. Kata tanya mengapa sebagai kata praklausa dan pascaklausa dapat diganti dengan frasa dan klausa keterangan. Sila lihat contoh yang berikut: 4c. Dia tidak hadir oleh (sebab) masalah keluarga? 4d. Dia tidak hadir kerana (dia) kurang sihat? Dalam ayat 4c, kata ganti nama mengapa diganti dengan frasa keterangan oleh (sebab) masalah keluarga, manakala dalam ayat 4d, kata tanya mengapa diganti dengan klausa keterangan kerana (dia) kurang sihat. Sebagai rumusan secara keseluruhannya, kata tanya dapat menjadi kata praklausa dan pascaklausa. Selain itu, kata tanya dapat juga menjadi predikat ayat atau sebahagian daripada predikat ayat." "Perihal Kata \u201cdengan\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMenurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, kata dengan ialah kata tugas yang tergolong sebagai kata sendi nama atau kata prafrasa dan pascafrasa, dan kata penyambung ayat atau kata hubung keterangan cara. Penggunaan kata dengan sebagai kata sendi nama dalam ayat contoh seperti berikut:\nDalam semua ayat di atas, kata dengan ialah kata sendi nama yang mendahului kata atau frasa nama, iaitu Ahmad, kerjasama daripada semua penduduk, pisau dan kawannya. Dalam ayat 1,kata dengan membawa maksud \u201cbersama-sama\u201datau \u201cberserta\u201d. Dalam ayat 2, kata dengan mendukung makna \u201ccara sesuatu dilakukan\u201d. Dalam ayat 3, kata dengan membawa makna \u201cmemakai atau menggunakan sesuatu sebagai alat\u201d. Dalam ayat 4, kata dengan bererti \u201ckeadaan perbandingan yang serupa atau sama\u201d.\nSebagai kata penyambung atau kata hubung keterangan cara, kata dengan menghubungkan klausa utama dengan klausa subordinat.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\n5. Ali datang dengan menaiki kereta api.\n6. Dia melawan penjahat itu dengan memberanikan diri.\nDalam ayat 5 dan 6 di atas, klausa subordinat yang berpangkalkan kata hubung dengan menerangkan gaya atau kaedah sesuatu perbuatan atau kejadian berlaku. Dalam ayat 5, kata dengan dikaitkan dengan cara penggunaan alat tertentu, iaitu menaiki kereta api, manakala dalam ayat 6, kata dengan dikaitkan dengan gaya melakukan sesuatu perbuatan, iaitu memberanikan diri. Ayat-ayat tersebut dapat dianalisis seperti yang berikut:\n5a.\u00a0 Ali datang. (klausa utama)\n5b.\u00a0 dengan (dia) menaiki kereta api. (klausa subordinat)\n6a.\u00a0 Dia melawan penjahat itu (klausa utama)\n6b.\u00a0 dengan (dia) memberanikan diri (klausa subordinat)\nWujudnya kebanjiran penggunaan kata dengan yang diikuti kata adjektif dengan kata pembenda -nya.\u00a0 Hal ini berlaku demikian kerana ada pihak yang beranggapan bahawa kata dengan ialah kata sendi nama dan mesti diikuti oleh kata atau frasa nama.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\n7. Kereta itu bergerak dengan lajunya.\n8. Kereta itu bergerak dengan laju.\nKata dengan sebagai kata sendi nama harus diikuti oleh kata adjektif dengan pembenda -nya\u00a0tetapi kita juga tidak harus menolak ketepatan struktur ayat yang menggunakan dengan sebagai kata hubung untuk menghubungkan klausa utama dengan klausa subordinat. Ayat 7 dan 8 di atas mempunyai struktur ayat yang berbeza. Analisis ayat tersebut adalah seperti yang berikut:\nAyat 7\ni. struktur: ayat tunggal\nii. subjek: kereta itu (frasa nama)\niii. predikat: bergerak dengan lajunya (frasa kerja)\niv. frasa keterangan: dengan lajunya (frasa sendi nama)\nv. kata adjektif dengan pembenda: lajunya\u00a0(kata nama)\nAyat 8\ni. struktur:\u00a0ayat majmuk\nii. klausa utama:\u00a0kereta itu bergerak (FN + FK)\niii. klausa subordinat: dengan (kereta) laju (KH + FN + FA)\nBerdasarkan analisis di atas, kedua-dua struktur frasa sendi nama dengan lajunya dan klausa keterangan cara dengan laju mendukung makna yang sama walaupun strukturnya lain. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, terdapat banyak contoh ayat majmuk dengan klausa keterangan seperti dengan laju.\nApakah bezanya antara dengan laju dan dengan lajunya? Bagi klausa keterangan cara dengan laju, kita boleh menambah kata penguat atau kata iringan lain. Sila lihat contoh yang berikut:\n9a.\u00a0 Kereta itu bergerak dengan sangat laju.\n9b.\u00a0 Kereta itu bergerak dengan tidak laju.\n10a.\u00a0 *Kereta itu bergerak dengan sangat lajuya.\n10b.\u00a0 *Kereta itu bergerak dengan tidak lajunya.\nJika kelompok ayat 9 dengan kelompok ayat 10 dibandingkan, kita mendapati bahawa kelompok ayat 9 lebih luwes sifatnya kerana dapat ditambah kata penguat seperti sangat dan kata nafi seperti tidak.\nBagi ayat 9b dan kelompok ayat 10, sememangnya kita ada pilihan lain untuk mengungkapkan konsep yang sama. Sila lihat contoh yang berikut:\n11a.\u00a0 Kereta itu tidak bergerak dengan laju.\n11b. Kereta itu bergerak dengan lajunya yang tinggi.\n11c.\u00a0 Kereta itu tidak bergerak dengan lajunya.\nJika ayat 9a dengan ayat 11b dibandingkan, kita akan mendapati bahawa ayat 9a lebih ekonomis dan kekerapan penggunaannya jauh lebih tinggi.\nSekiranya kita hanya membenarkan kata dengan disusuli oleh kata nama, kita mungkin akan berhadapan dengan kebanjiran ayat yang janggal bunyinya. Sila lihat contoh yang berikut:\n12a.\u00a0 Dia belajar dengan bersungguh-sungguh.\n12b.\u00a0 *Dia belajar dengan bersungguh-sungguhnya.\n13a.\u00a0 Dia berkhidmat dengan bertanggungjawab.\n13b.\u00a0 *Dia berkhidmat dengan bertanggungjawabnya.\n14a.\u00a0 Dia menghuraikan hal itu dengan terperinci.\n14a.\u00a0 *Dia menghuraikan hal itu dengan terperincinya.\n15a.\u00a0 Dia bertindak dengan terburu-buru.\n15b.\u00a0 *Dia bertindak dengan terburu-burunya.\nAyat 12 hingga 15 boleh juga ditulis seperti yang berikut:\n12c. Dia belajar secara bersungguh-sungguh.\n13c.\u00a0 Dia berkhidmat secara bertanggungjawab.\n14c.\u00a0 Dia menghuraikan hal itu secara terperinci.\n15c.\u00a0 Dia bertindak secara terburu-buru." "Bahasa Melayu sebagai Identiti Budaya Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\n\nTERENGGANU \u2013 Bahasa merupakan satu entiti yang mewakili rakyat di sesebuah negara. Bahasa juga melambangkan identiti sesuatu bangsa yang boleh membentuk identiti nasional dan identiti budaya sesebuah negara. Ungkapan bahasa sebagai identiti nasional bermaksud bahasa Melayu dalam peranannya sebagai bahasa negara, iaitu\u00a0 bahasa yang dikongsi bersama oleh seluruh warganya. Manakala ungkapan bahasa Melayu sebagai identiti budaya pula bermaksud bahasa merupakan cara hidup warganegara Malaysia.\nOleh hal yang demikian, bahasa Melayu diamalkan sebagai satu budaya, iaitu resam dan tingkah laku masyarakat dari segi kebahasaan. Kedua-duanya merujuk keadaan bahasa Melayu itu sendiri sebagai penghubung antara warganegara dengan tanah air dan juga penting dalam konteks kenegaraan. Bahasa Melayu juga memainkan peranannya yang utama dalam mendukung makna kedaulatan negara, serta menjadi faktor penjalin terhadap rasa keterikatan sesama rakyat.\nNamun demikian, peranan yang dimainkan oleh bahasa Melayu ini turut menimbulkan persoalan, iaitu sejauh manakah bahasa Melayu dapat berperanan seperti fungsinya yang sebenar? Bagi menjawab persoalan ini, tiga aspek utama diberi penekanan termasuklah aspek mutu, nilai (keutuhan) dan peranannya (kedudukan bahasa Melayu).\nKualiti dan mutu sifat bahasa Melayu sebenarnya dapat dilihat dari aspek pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu dalam konteks bahasa negara oleh warganegaranya. Dalam hal ini, bahasa Melayu merupakan satu-satunya bahasa negara di dunia yang tidak diketahui, apatah lagi dikuasai sepenuhnya oleh warganya di tanah watannya sendiri. Hal ini sangat malang dan boleh dipersoalkan dari segi kelayakan seseorang warganegara. Walaupun sudah 64 tahun negara mencapai kemerdekaan, masih terdapat warganegara bukan Melayu yang masih tidak mengetahui dan menguasai bahasa negara dengan baik.\nDari segi keutuhan pula, terdapat satu gejala kebahasaan dalam kalangan orang Melayu, yang jika tak dibendung pasti akan menjejaskan jati diri bahasa Melayu. Gejala yang dimaksudkan itu ialah penggunaan bentuk bahasa asing yang tidak diperlukan yang telah menjejaskan aspek ketulenan bahasa Melayu. Bahasa asing digunakan dengan sewenang-wenangnya secara berleluasa dan tidak ditegur oleh mana-mana pihak.\nManakala aspek ketiga pula ialah peranan dan kedudukan bahasa Melayu itu sendiri. Umum mengetahui bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dan bahasa leluhur orang Melayu. Justeru, amat penting bagi orang Melayu untuk mempunyai sikap cakna dan peduli akan bahasa Melayu.\n\u201cPelbagai usaha telah dilaksanakan untuk mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu. Namun hal yang demikian tidak membawa kesan kepada orang Melayu, iaitu sikap orang Melayu yang masih bersahaja dan mengambil mudah. Sikap kebersahajaan ini menyebabkan bahasa Melayu dipinggirkan dalam kelompok orang Melayu sendiri. Hal ini dapat dijelaskan melalui petikan kata daripada Munsyi Abdullah, yang menjelaskan bahawa orang Melayu tetap akan tinggal dengan bodohnya kerana tidak mahu mempelajari bahasa ibunda.\u201c\nDemikianlah penerangan oleh YBhg. Profesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Teo Kok Seong, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang bertajuk \u201cBahasa dan Identiti Bangsa\u201c, dalam Syarahan Darul Iman 2, Anjuran Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), yang disiarkan secara langsung menerusi Webex dan FB Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL) pada pukul 10.00 pagi tadi." "Menyemarakkan Patriotisme Melalui Filem dan Lagu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nApabila tiba bulan Ogos pada setiap tahun, Malaysia pasti meriah dengan pelbagai acara yang diatur sempena sambutan kemerdekaan negara. Dari peringkat sekolah sehinggalah ke peringkat kebangsaan, Keluarga Malaysia tanpa mengira umur, agama dan bangsa boleh bersama-sama menyemarakkan kemeriahan sambutan kemerdekaan negara. Jika diperhatikan, kebanyakan acara dan aktiviti yang dianjurkan melibatkan bidang kesenian dan kebudayaan. Walaupun terdapat segelintir masyarakat yang mempersoalkan sejauh mana bidang kesenian dan kebudayaan mampu menyemai semangat patriotisme dalam diri individu, namun hakikatnya kebanyakan anak-anak kecil mengetahui tarikh sambutan hari kemerdekaan negara daripada pengaruh lirik lagu patriotik tanggal 31 Ogos yang dinyanyikan oleh legenda seniman negara, Allahyarham Dato\u2019 Sudirman Arshad. Justeru, filem dan lagu dilihat mampu menyubur dan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan Keluarga Malaysia.\nKesenian dan kebudayaan seperti lagu dan filem mempunyai peranan yang besar dalam pembangunan sesebuah masyarakat terutamanya dalam membentuk sebuah negara bangsa yang mempunyai identiti tersendiri. Oleh sebab itu, penjajah membawa masuk unsur kesenian dan kebudayaan mereka ke Tanah Melayu kerana kedua-dua unsur ini mampu mempengaruhi minda dan nilai masyarakat. Dalam proses menjadi sebuah negara maju, Malaysia tidak boleh hanya berkiblatkan sains dan teknologi semata-mata sehingga mengetepikan kesenian dan kebudayaan yang diwariskan oleh generasi terdahulu. Negara-negara maju di dunia seperti Korea sangat berbangga dengan warisan kebudayaan mereka. Negara tersebut berjaya membawa bahasa dan budaya Korea ke seluruh dunia melalui lagu, drama, filem dan artis mereka. Selain itu, mereka juga mampu mengumpul dan menyatukan masyarakat dari seluruh dunia dengan pelbagai latar belakang. Korea berjaya membuktikan filem dan lagu mempunyai peranan dan sumbangan yang cukup besar.\nDi negara kita, kedua-dua bidang ini juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dan membangkitkan suasana kemeriahan sambutan kemerdekaan saban tahun. Namun begitu, cara penyampaian perlu melihat kepada selera Keluarga Malaysia terutama generasi muda pada hari ini. Jika sebelum ini kebanyakan filem berunsur patriotik dilihat gagal mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat, namun filem Mat Kilau yang ditayangkan sebelum ini berjaya menepis fakta tersebut. Sehingga kini negara kita masih membuak-buat dengan semangat jati diri, namun mungkin filem-filem berunsurkan patriotik dan kenegaraan yang dihidangkan pada masa dahulu tidak menepati kehendak mereka. Penyampaian filem-filem terdahulu mungkin agak berat dan seolah-olah mengajar pendidikan sejarah kepada para penonton, sedangkan medium hiburan seperti filem perlu mengangkat nilai sejarah tersebut secara lebih kreatif.\n\nFilem genre patriotisme atau kenegaraan kebiasaannya mempunyai elemen sejarah yang mengaitkan pemimpin atau seseorang tokoh sebagai daya tarikan. Shafezah Abdul Wahab dalam penulisannya yang bertajuk Panggung Sinema Kita Tandus Filem Patriot menyatakan elemen fiksyen turut disuntik dalam filem genre ini bagi tujuan tarikan penonton kerana jika tidak diolah secara kreatif, filem genre patriotisme akan membosankan para penonton. Antara filem patriotik dan kenegaraan yang memaparkan perjuangan penentangan penjajah termasuklah Sarjan Hassan pada (1958), Bukit Kepong (1981), Darah Satria (1983), Leftenan Adnan (2000), Embun (2002), 1957: Hati Malaya (2007), Tanda Putera (2013), dan Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior (2017). Filem genre patriotisme jarang mendapat sambutan sehingga gagal mencatat kutipan pecah panggung walaupun diharapkan mampu memugar dan membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat. Lebih menyedihkan, kos kebanyakan filem genre patriotisme agak tinggi sehingga menyebabkan tidak banyak penerbit filem yang mahu mengambil risiko untuk menerbitkannya.\n\nWalau bagaimanapun, filem Mat Kilau yang ditayangkan bermula 23 Jun lalu membuktikan sebaliknya kerana setelah 33 hari ditayangkan, filem tersebut berjaya mencatat kutipan hampir RM100 juta. Malahan, sambutan hangat terhadap filem tersebut menyangkal pandangan dan pendapat segelintir pihak yang menyatakan selera masyarakat negara kita yang lebih meminati filem genre ringan yang sarat dengan naratif cinta. Realitinya, Keluarga Malaysia tercari-cari filem yang sarat melambangkan akar bangsa dan menjunjung tinggi nilai-nilai ketimuran sebagaimana yang dipersembahkan dalam filem Mat Kilau. Walaupun filem Mat Kilau masih ada kekurangan, tetapi filem tersebut sedikit sebanyak dapat membangkitkan semangat patriotisme dalam diri masyarakat tanpa mengira golongan usia. Para penonton dapat melihat semangat para pahlawan terdahulu yang bangkit menentang penjajah. Bahkan kini lebih ramai anak muda yang berminat untuk mempelajari silat sebagai warisan seni mempertahankan diri setelah menonton filem tersebut.\nSelain filem, lagu juga merupakan antara medium yang mampu menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Semangat mencintai negara perlu dipupuk semula, disemarakkan dan dilaksanakan secara berterusan melalui dendangan lagu-lagu patriotik. Menurut Shazlin Amir Hamzah dalam kajiannya yang bertajuk Peranan Lagu-Lagu Popular dalam Penjenamaan Bangsa Malaysia, lagu-lagu patriotik dilihat sebagai satu daripada jambatan penghubung ke arah manifestasi pengkarya dalam merealisasikan dan memupuk semangat patriotisme ke dalam jiwa pendengar.\nMasyarakat terutamanya generasi baharu yang lahir dalam suasana negara yang telah merdeka perlu didedahkan dengan lagu-lagu patriotik bagi menyemarakkan rasa cinta mereka kepada tanah air, sekali gus bermotivasi tinggi untuk mempertahankan negara. Menurut Shazlin Amir Hamzah lagi dalam kajiannya, muzik kebangsaan mewujudkan suasana kolektif sewaktu dipersembahkan dan hal ini merupakan elemen yang penting bagi sesuatu bangsa kerana bangsa adalah sesuatu yang bersifat kolektif. Contohnya adalah lagu Negaraku sebagai lagu kebangsaan Malaysia.\nMenurut Pengarah Muzik Rancangan Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Mokhzani bin Ismail, kebanyakan penghasilan lagu patriotik bersifat ringan dan senang difahami. Hal ini kerana lagu tema sambutan Hari Kebangsaan hanya dilancarkan pada setiap 1 Ogos dan dalam masa yang singkat, lagu tersebut perlu menjadi mesra di telinga masyarakat Malaysia menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos setiap tahun. Lirik lagu patriotik juga perlu ringkas dan mudah difahami oleh pelbagai lapisan masyarakat tanpa perlu menggunakan bahasa yang berbunga-bunga. Walau bagaimanapun, lirik lagu-lagu patriotik yang dihasilkan mempunyai nilai-nilai estetika yang tinggi. Pemilihan penyanyi bagi lagu-lagu genre patriotisme juga penting agar penyampaiannya lebih meluas dan berupaya menarik perhatian seluruh Keluarga Malaysia.\nJika dahulu penyanyi lagu-lagu genre patriotisme tidak popular dan tidak dikenali, namun kini pemilihan penyanyi adalah lebih selektif dengan mengambil kira pertimbangan yang sewajarnya kerana bukan semua penyanyi mampu mendendangkan lagu patriotik dengan baik. Antara penyanyi negara yang pernah menyanyikan lagu patriotik termasuklah Allahyarham Dato\u2019 Sudirman Haji Arshad, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Roy, Faizal Tahir, Hafiz Suip, Jaclyn Victor, Bob Yusof, Bunkface, Alif Satar & The Locos dan lain-lain.\nLagu patriotik menjadi antara medium penting untuk menyemai semangat cintakan negara selain berperanan besar dalam menyatupadukan masyarakat negara kita yang berbilang kaum dan agama. Mesej dan nilai penting yang terkandung dalam lagu patriotik ternyata berjaya menyuntik semangat cintakan negara. Selain itu, lagu-lagu patriotik mampu menyuntik semangat setiap warganegara yang sedang berjuang tidak kira walau dalam apa-apa bidang sekali pun. Lagu-lagu patriotik malar segar seperti Tanggal 31 Ogos, Warisan, Saya Anak Malaysia, Jalur Gemilang, Gemilang, Gemuruh dan lain-lain menjadi bualan rakyat serta begitu sinonim dalam Keluarga Malaysia. Lagu seperti Gemilang nyanyian Jaclyn Victor dan Gemuruh nyanyian Faizal Tahir merupakan antara contoh lagu genre patriotisme yang didendangkan sewaktu para atlet mewakili negara bertanding dan bersaing dalam temasya sukan antarabangsa bagi membakar semangat mereka.\nFilem dan lagu patriotik secara tidak langsung mampu membakar semangat patriotisme dalam kalangan Keluarga Malaysia terutamanya generasi muda. Pengisian sejarah yang diangkat secara lebih ringan, santai dan kreatif dalam filem membawa kita lebih menghayati pengorbanan dan semangat perjuangan para pahlawan terdahulu yang berjuang untuk memperoleh kemerdekaan negara. Manakala lagu patriotik pula mampu membangkitkan semangat cintakan negara melalui lirik dan iramanya. Semoga lebih banyak lagi filem berunsur patriotik dapat dihasilkan pada masa depan serta lagu-lagu patriotik baharu mampu menjadi malar segar sebagaimana lagu-lagu patriotik terdahulu." "Mengimbau Sejarah Bapa Kemerdekaan Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSelangor \u2013 Sepanjang bulan Ogos dan September 2022, Keluarga Malaysia berpeluang untuk mengetahui dan mendekati dengan lebih dekat sejarah peristiwa kemerdekaan negara melalui pameran Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di tiga lokasi yang berbeza, iaitu di lobi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Paradigm Mall, Petaling Jaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).\nPihak MOTAC mempamerkan koleksi khas dan unik Bapa Kemerdekaan Malaysia, iaitu Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2022 di lobi ibu pejabat mereka. Antara koleksi khas yang dipamerkan adalah meja yang digunakan oleh Tunku Abdul Rahman sewaktu menandatangani perjanjian, koleksi peribadi kemeja batik dan kasut beliau serta pelbagai koleksi lain lagi.\nSelain itu, Paradigm Mall, Petaling Jaya dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia (ANM) turut menganjurkan Pameran Tunku Abdul Rahman, iaitu Pop Up Memoriam Tunku Abdul Rahman Putra. Pameran tersebut yang mempamerkan lebih daripada 59 barangan atau artifak kepunyaan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj diadakan di Aras G, (Lot GF-33) pusat beli-belah tersebut. Pameran tersebut diadakan bersempena dua tarikh bersejarah negara kita, iaitu Hari Kemerdekaan Malaysia dan Pengisytiharan Malaysia yang berlangsung selama dua bulan, iaitu dari 13 Ogos 2022 hingga 30 September 2022.\nAntara koleksi yang dipamerkan dalam pameran ini termasuklah kereta kesukaan Tunku Abdul Rahman, koleksi pen Parker yang digunakan untuk menandatangani dokumen rasmi kerajaan, meja belajar, koleksi wang kertas dan duit syiling zaman dahulu, pakaian Tunku Abdul Rahman yang digunakan sewaktu kembali dari London untuk pengisytiharan Merdeka, watikah, surat, manuskrip dan lain-lain lagi.\nYang lebih menarik, video hitam putih Tunku Abdul Rahman dan gambar-gambar lama beliau juga dapat ditonton oleh para pengunjung pameran ini. Pada 23 Ogos yang lalu, cucu kandung Tunku Abdul Rahman, Yang Mulia Tunku Muinuddin Putra hadir merasmikan Pop Up Memoriam Tunku Abdul Rahman Putra.\nSempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini, KLIA juga menganjurkan satu pameran khas berkaitan kisah kehidupan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Pameran eksklusif tersebut yang bertemakan \u201cThe Life of Malaysia\u2019s First Prime Minister\u201d diadakan di Kawasan Pentas, Aras 5, Bangunan Terminal Utama KLIA dan terbuka kepada umum. Pameran tersebut berlangsung dari 23 Ogos 2022 hingga 18 September 2022 dan bayaran masuk adalah secara percuma.\nKeluarga Malaysia berpeluang melihat barang peribadi daripada peti keselamatan milik Tunku Abdul Rahman yang tidak pernah dipaparkan kepada orang ramai sebelum ini. Pameran tersebut juga mampu membangkitkan perasaan nostalgia kepada para pengunjung dengan menghidupkan semula gambaran pejabat dan bilik mesyuarat Kabinet Malaysia pada zaman Tunku Abdul Rahman. Para pengunjung pameran juga berpeluang untuk bergambar di ruangan tersebut. Keluarga Malaysia juga berpeluang menikmati dua makanan kegemaran Bapa Kemerdekaan Malaysia, iaitu kari ayam dan ayam kurma di Food Garden, KLIA.\nPameran-pameran ini diadakan bagi memperingati jasa dan pengorbanan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam mencapai kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 di samping untuk mendidik Keluarga Malaysia, terutamanya generasi muda mengenai sejarah Malaysia serta memupuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat." "\u201cKurma Daging Perlis\u201d Identiti Makanan Negeri Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKhlong Hae \u2013 Raja Muda Perlis, Yang Teramat Mulia (YTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, YTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merasmikan promosi masakan Perlis kali keempat di Khlong Hae Halal Buffet Seafood Restaurant, Songkhla.\nUsaha tersebut merupakan antara langkah berterusan yang dilakukan oleh Raja Muda Perlis, YTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerusi \u201cPerlis Food Promotion\u201d yang memperkenalkan \u201cKurma Daging Perlis\u201d sebagai identiti makanan negeri di Utara Malaysia ini.\nInisiatif tersebut dijayakan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) bagi mempromosikan Perlis kepada masyarakat di Thailand. Kehadiran baginda berdua disambut oleh Chutima Hemmun, pemilik Khlong Hae Halal Buffet Seafood Restaurant.\nTurut hadir ialah Datuk Bandar Khlong Hae, Sunti Hemmun, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Rizuan Abd Yazid serta bekas Timbalan Ketua Polis Diraja Thailand bagi Region 9, Mejar Jeneral Polis (Bersara), Datuk Pichate Pitisathepan dan isteri beliau, Datin Nuranee Pitisathepan.\nSeterusnya, pengusaha Shamiza Restoran di Kampung Gial Perlis, Shamiza Mohd Nor membantu membimbing ketua tukang masak di restoran berkenaan untuk menyediakan menu istimewa, iaitu \u201cKurma Daging Perlis\u201d yang akan menjadi menu tetap restoran berkenaan selepas ini.\nRestoran-restoran lain di wilayah Songkhla yang pernah terlibat dalam program promosi masakan Perlis dan dirasmikan oleh baginda berdua sebelum ini adalah Sami Kitchen, Restoran Halal Kai Tod Decha dan Restoran Hamid.\nProgram tersebut diadakan di samping aktiviti berbasikal \u201cKayuhan Cakna Merdeka\u201d bersempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-65 pada 31 Ogos 2022.\nAntara lokasi baharu yang menarik untuk dilawati di Perlis adalah Projek Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis, Wang Kelian View Point, beberapa lokasi pelancongan di sekitar Sungai Batu Pahat dan Bukit Ayer, kaki bukit Gua Kelam, Tasoh dan Bukit Chabang, Kampung Balik Bukit serta kedai-kedai makan yang menyediakan pelbagai makanan yang lazat.\nTuanku Syed Faizuddin Putra turut berpesan kepada para pengusaha pelancongan dan pengusaha makanan di Perlis sama ada milik kerajaan atau persendirian supaya sentiasa memastikan tahap kebersihan berada pada tahap yang paling tinggi, terutama kawasan tandas dan dapur, melayan pelanggan dengan penuh sopan dan berhemah serta mengenakan caj perkhidmatan yang adil agar para pengunjung berminat untuk mengunjungi Perlis lagi pada masa depan." "LIBRA 22 Meneruskan Legasi Blues dan Rock\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2013 Program Blues Rock Antarabangsa Langkawi ASEANA 2022 (LIBRA 22) akan berlangsung pada 17 hingga 19 Disember 2022 di Langkawi. LIBRA 22 merupakan program muzik perdana bagi genre muzik blues di Malaysia.\nLIBRA 22 diilhamkan oleh legenda blues negara, Ito Mohd atau nama sebenarnya Mohd. Arif Kendut menerusi pemerhatian dan pengalaman beliau yang luas dalam arena muzik sama ada dalam negara mahupun luar negara.\nProgram ini juga merupakan kesinambungan LIBRA 17 dan LIBRA 18 anjuran bersama dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).\nSelain dua program tersebut, terdapat juga sebuah program anjuran bersama dengan Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2018, iaitu Festival Muzik Kota Dame 2018.\nLIBRA 18 berlangsung pada 29 hingga 31 Disember 2018 di Laman Padi, Langkawi dan berjaya menarik lebih 700 pengunjung.\nSehubungan dengan itu, LIBRA 22 dijangka dapat menarik lebih ramai pengunjung kerana LIBRA mempunyai kumpulan pengikutnya yang tersendiri. LIBRA 22 turut menyenaraikan para penyanyi daripada kumpulan blues terkemuka merangkumi dalam dan luar negara.\nPenglibatan para penyanyi kumpulan blues dari Singapura, Indonesia, Jepun dan Iran turut memberikan peluang kepada pemuzik blues negara untuk bersaing dan dikenali pada peringkat antarabangsa.\nPenjenamaan semula muzik blues di Malaysia supaya bersifat antarabangsa dan pada masa yang sama mengekalkan inti pati budaya negara yang penting demi kelestarian muzik blues untuk jangka masa panjang. Program seperti ini dapat membantu mewujudkan keharmonian serta memupuk kesejahteraan rakyat Malaysia.\nLIBRA 22 bermatlamat menjenamakan semula muzik blues di Malaysia. Inti pati program yang mempamerkan keharmonian barisan penyanyi kumpulan blues dapat menyatukan para peminat blues di Asia Tenggara.\nHal ini boleh mengangkat kedudukan LIBRA 22 berikutan terdapat pasaran yang luas, iaitu kira-kira 10 juta peminat blues di seluruh Asia Tenggara. Publisiti positif mampu memberikan peluang kepada barisan penyanyi kumpulan blues di Malaysia untuk terus maju dan seterusnya menembusi pasaran antarabangsa.\nAntara matlamat LIBRA 22 adalah:\na) Membantu menyemarakkan dan menggiatkan industri pelancongan dan hiburan selepas wabak pandemik COVID-19.\nb) Membantu memastikan industri pelancongan dan hiburan negara terus berdaya saing.\nc) Membawa muzik blues dan rock Malaysia ke arena antarabangsa.\nd) Berperanan sebagai produk pelancongan kepada negara untuk mempromosikan muzik blues dan rock Malaysia serta inti pati budaya Malaysia yang turut diserapkan dalam konsep persembahan.\ne) Menyerlahkan Malaysia dan semua akar budaya Asia yang lain.\nf) Memberikan peluang kepada usahawan barangan vintaj, peniaga trak makanan dan lain-lain untuk mempamerkan jenama dan produk mereka.\ng) Meningkatkan ekonomi setempat dengan penglibatan para peniaga dan pengeluar tempatan.\nh) Menggalakkan sikap positif kepada belia melalui muzik.\ni) Mewujudkan komuniti blues dan rock di semua negeri di Malaysia.\nj) Mewujudkan sebuah pelantar untuk semua penyanyi kumpulan blues dan rock mempamerkan bakat.\nk) Mendukung muzik blues dan rock Malaysia serta membawa lagu-lagu nyanyian penyanyi tempatan ke peringkat antarabangsa seperti lagu Apo Nak Dikato.\nl) Sebagai medium untuk penyanyi genre blues dan rock dalam dan luar negara berkumpul serta membentuk jaringan kerjasama.\nObjektif jangka masa panjang LIBRA 22 adalah membina penjenamaan muzik blues yang kuat dan dikenali di dalam dan luar negara. Penjenamaan ini boleh dibuat untuk artis-artis genre blues dan juga untuk LIBRA 22 sebagai produk pelancongan.\nKebanyakan program seperti ini yang telah berlangsung selama lebih 10 tahun terbukti mampu memberikan impak positif kepada penjenamaan ekonomi tempatan dan peningkatan aliran masuk pengunjung dari seluruh dunia.\nLIBRA 22 mampu membina kumpulan pengikutnya yang tersendiri, terutamanya dalam kalangan negara ASEAN.\nAntara pelbagai acara menarik yang mengisi LIBRA 22 adalah pameran yang akan berlangsung bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah malam. Selain itu, terdapat aktiviti lain seperti klinik muzik, kesenian dan sesi \u201cnasihat otai\u201d. Persembahan pentas akan bermula pada jam 5 petang hingga 12 tengah malam.\nPengunjung LIBRA 22 akan dapat menikmati pelbagai jenis muzik blues daripada barisan penyanyi dan kumpulan blues yang pelbagai dari seluruh dunia. Hal ini dapat membantu menarik pengunjung dari pelbagai tempat, termasuklah dari Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura dan lain-lain, sekali gus meningkatkan aliran masuk pelancong ke Malaysia.\nUntuk maklumat lanjut, sila hubungi Pengurus Itos Cottage Music, Kid Afero Mohd Arif menerusi talian 017 399 0162." "Langkawi Writers\u2019 Festival Buka Panggung Kesenian Langkawi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2013 Langkawi cukup kaya dengan pelbagai tarikan pelancongan, seperti pantainya yang indah, kisah legenda yang menarik dan syurga membeli-belah. Selain pelancongan, pulau ini turut \u201cdimeriahkan\u201d dengan penganjuran pelbagai acara bertaraf antarabangsa, seperti Le Tour de Langkawi, LIMA Langkawi, IronMan Malaysia dan sebagainya.\nKini, \u201ckemeriahan\u201d Langkawi ini diteruskan pula dengan penganjuran aktiviti sastera dan kesenian yang dikenali sebagai Langkawi Writers\u2019 Festival anjuran Morne Art Gallery dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, LADA, Balai Seni Negara Langkawi, dan FINAS. Festival yang diadakan di Auditorium Mahsuri ini melibatkan para penggiat seni dan sastera dari seluruh negara, termasuklah penulis, pelukis, pengarca, penyair, penyelidik dan sebagainya.\nLangkawi Writers\u2019 Festival yang julung-julung kali diadakan ini dirasmikan oleh Tuan Nasaruddin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA. Dalam ucapan perasmian, Tuan Nasaruddin mengharapkan agar Langkawi Writers\u2019 Festival menjadi acara kesenian ilmiah yang utama dan dapat diadakan setiap tahun di Langkawi.\n\u201cSelain ekopelancongan dan geopelancongan, Langkawi turut berhasrat untuk menjadi lokasi pelancongan seni dan budaya bertaraf antarabangsa. Bahkan, Langkawi mendapat anugerah sebagai Malaysia Pride Destination dan perlu memainkan tanggungjawab untuk mewakili Malaysia bersaing dengan lokasi pelancongan lain di seluruh dunia. Maka itu, festival seperti ini dapat menyemarakkan lagi aktiviti kesenian di Langkawi,\u201d kata Tuan Nasaruddin sebelum merasmikan Langkawi Writers\u2019 Festival.\nMenurut Morne Hashim, pengasas dan pengarah Langkawi Writers\u2019 Festival, festival penulis seperti ini amat perlu untuk menjalin hubungan akrab antara penulis denga pembaca. Hal ini dikatakan demikian kerana budaya menulis dan membaca belum \u201cmesra\u201d dengan masyarakat kita.\n\u201cDi Australia misalnya, bukti daripada budaya menulis dan membaca itu dapat dilihat melalui penganjuran festival penulis yang rutin diadakan dengan nama-nama yang hadir bukanlah calang-calang. Saya berangan untuk menganjurkan satu festival, dan Langkawi menjelma di fikiran. Hal ini disebabkan oleh Langkawi memiliki daya tarikan ekonomi kreatif. Saya percaya bahawa ekonomi kreatif akan menjadi ekonomi teras bangsa,\u201d ujar Morne.\nFestival yang berlangsung selama empat hari ini, iaitu pada 1 September hingga 4 September 2022, diwarnai dengan pelbagai acara dan aktiviti sastera dan kesenian berbentuk ilmiah. Antaranya termasuklah forum, bengkel penulisan, bicara karya, persembahan teater, tayangan filem, pelancaran buku dan pembacaan skrip. Yang menariknya, festival ini turut membawa para tetamu undangan berlayar dengan kapal persiaran sebagai acara penutup." "Teater Payung Memartabatkan Isu Alam Sekitar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2013 Pementasan teater semi muzikal kanak-kanak Payung telah berlangsung di Auditorium Panggung Seni Kota Mahsuri, Langkawi, Kedah pada 2 September 2022. Pementasan teater ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat dengan kehadiran lebih 200 orang.\nTeater ini mengetengahkan isu penjagaan alam sekitar dan dipaparkan secara komedi bagi mendidik para penonton terutamanya golongan kanak-kanak dan remaja.\nPementasan teater ini dibarisi pelakon kanak-kanak yang terdiri daripada Adam sebagai Doktor Ali, Echa sebagai Doktor Teja, Airill sebagai Mat, Zaid sebagai Deris, Hawa sebagai Gayah, Qis sebagai Kiah, Teja sebagai Pengemis Muda, Achu sebagai Pengemis Tua dan Tuah Adam sebagai Badut, Awie sebagai Luthfi dan Saiful Amir sebagai Orang Tua Misteri.\nManakala pasukan produksi pula terdiri daripada Cikgu Azahar sebagai pengurus produksi, Saiful Amir sebagai penolong pengarah, Natalia sebagai pengurus pentas dan Cikgu Yati sebagai pengurus panggung. Teater Payung dipentaskan oleh Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS) dan diarahkan oleh pengarah teater terkenal di Utara Malaysia, iaitu saudara Joe K.A.S.\nPementasan teater Payung dipersembahkan khas oleh Morne Art Gallery dan merupakan sebahagian daripada pengisian sempena Langkawi Writers\u2019 Festival yang berlangsung dari 1 hingga 4 September 2022. Selain pementasan teater, festival ini juga turut diisi dengan acara forum sastera, sesi bertemu penulis, pameran dan jualan buku, bacaan buku, tayangan filem, pelancaran buku dan deklamasi puisi. Acara ini mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Balai Seni Negara dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).\nTeater Payung mengisahkan tentang kehidupan pelbagai lapisan masyarakat yang menghadapi masalah hujan asid yang mengakibatkan kematian di sebuah kota yang dikenali sebagai Kota Metro Umbrella. Penduduk kota tersebut perlu melindungi diri mereka daripada bahaya hujan asid menerusi penggunaan payung pada setiap masa.\nOleh sebab masih belum ada penawar untuk merawat kesan hujan asid ini, maka Doktor Ali, Doktor Teja dan pembantu mereka yang bernama Luthfi bertungkus lumus berusaha mengkaji, mencari dan mendapatkan penawarnya. Walau bagaimanapun, segala usaha mereka menemui jalan buntu sehingga Doktor Teja mencadangkan supaya mereka mencari penawar menggunakan kaedah tradisional.\nSeterusnya, mereka merancang untuk masuk ke dalam Hutan Terabak untuk mencari penawar hujan asid. Kelihatan banyak pokok-pokok dalam Kawasan Hutan Terabak telah layu dan mati akibat kesan hujan asid serta hanya tinggal sebatang pohon yang masih hidup segar menghijau. Di situlah mereka berjaya menemui penawar untuk wabak penyakit yang melanda.\nKemudian mereka kembali ke Kota Metro Umbrella dan berjaya menghasilkan penawar kepada wabak penyakit akibat kesan hujan asid. Doktor Ali dan rakan-rakannya mencadangkan agar seluruh masyarakat bersama-sama berganding bahu memelihara dan memulihara alam sekitar serta berharap semoga hujan tidak lagi berasid dan kehidupan mereka kembali sihat dan ceria." "Amalan Membaca: Pembelajaran Sepanjang Hayat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Program Generasiku Bestari telah diadakan di ruang legar Mydin Mall, Tunjong, Kota Bharu, Kelantan pada 3 September 2022. Program ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur dengan kerjasama Mydin Mall, Kelantan fm, Kumpulan Sri Dewi dan Pratahfiz PASTI al-Hadiy bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan bagi tahun 2022. Program ini telah dirasmikan oleh YBrs. Tuan Haji Razali bin Che Mat, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP.\nDalam majlis tersebut, Tuan Haji Razali mengucapkan penghargaan dan syabas kepada penulis yang telah berjaya menghasilkan buku cerita rakyat Kelantan yang turut sama dilancarkan dalam program tersebut.\n\u201cSaya berharap tuan puan akan terus menyumbang dan menghasilkan karya kerana DBP sentiasa terbuka untuk menerbitkan buku demi kepentingan ilmu. Tanpa buku, anak-anak kita tidak dapat membaca buku-buku yang bermutu, maknanya anak-anak kita tidak dapat lagi ilmu dan terpisah dengan ilmu,\u201d jelas Tuan Haji Razali. Dalam penghasilan karya, Tuan Haji Razali menggalakkan para penulis menghasilkan karya yang berunsurkan kearifan tempatan dan menonjolkan aspek sains dan teknologi kerana masyarakat dahulu juga ialah masyarakat pemikir yang menitikberatkan sains dan teknologi. Perkara ini perlu diserlahkan kepada anak-anak agar mereka mengetahui bahawa sains dan teknologi penting dalam kehidupan mereka.\nTambah Tuan Haji Razali, selain dalam bentuk bercetak, DBP menerbitkan buku digital yang boleh diakses melalui portal JendelaDBP (jendeladbp.my) untuk disebarluaskan ke peringkat antarabangsa bagi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Pada tahun ini portal tersebut telah diakses oleh lebih 700 000 pelayar.\nMenurut Tuan Haji Razali, dalam menyebarluaskan buku-buku yang diterbitkan, DBP juga memberikan ruang kepada penulis yang berminat untuk memasarkan buku mereka melalui program Pengarang Niaga. Program tersebut dikendalikan oleh Bahagian Pemasaran dan Pengedaran DBP. Buku-buku yang laris akan dicetak ulang. Melalui program tersebut, buku-buku yang diterbitkan diharapkan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dalam usaha memupuk budaya membaca dan menyemarakkan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK).\nObjektif utama DMK adalah untuk membentuk masyarakat berilmu yang bertaraf dunia dengan tumpuan membaca untuk pengetahuan dan pembudayaan amalan membaca. Oleh itu, dalam usaha menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat, Program Generasiku Bestari ini diisi dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan mewarna, pintar bahasa, bijak Jawi, pertandingan bercerita siri cerita rakyat Kelantan, sembang santai \u201cKayanya Bahasa Kita\u201d, deklamasi sajak dan bicara buku. Menerusi pelbagai aktiviti kebahasaan ini, semua lapisan masyarakat dilibatkan dari peringkat kanak-kanak, remaja, dewasa serta kakitangan kerajaan dengan harapan program tersebut berhasil untuk mencapai objektif DMK.\nMelihat peri pentingnya amalan membaca dalam kalangan masyarakat, Pengarah DBP Wilayah Timur, Encik Muhd Azam bin Juhari melalui ucapannya dalam majlis tersebut berkata:\n\u201cBersempena dengan Program Generasiku Bestari, saya mengajak semua warga Kelantan dan hadirin sekalian agar bersama-sama meneguhkan iltizam untuk menjadikan amalan membaca sebagai agenda penting dalam kehidupan dan pembelajaran sepanjang hayat. Marilah kita julang dan memartabatkan bahasa Melayu dalam urusan harian kita.\u201d\nBagi menyemai dan menerapkan amalan membaca, generasi alfa kelahiran era 2000 harus didedahkan dengan aktiviti seperti Program Generasiku Bestari ini. Generasi era ini mudah didekati dan lebih cenderung dengan aktiviti yang bersifat tidak formal, namun dapat merealisasikan proses pembelajaran sepanjang hayat. Proses pembelajaran yang berterusan ini membolehkan setiap individu menguasai ilmu untuk menghadapi cabaran kehidupan. Penguasaan ilmu adalah melalui budaya membaca. Amalan membaca seharusnya dipupuk dan dibugarkan kepada semua lapisan masyarakat sebagai penerus generasi berilmu. Insan yang menguasai pelbagai ilmu pastinya akan dipandang tinggi oleh masyarakat dan mampu menguasai dunia.\nTurut hadir dalam majlis tersebut ialah Encik Mohd Samsul Baharin bin Isa, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan, Puan Mariati Josepha binti Mustafa, Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, dan Encik Hamdan bin Abd Kadir, Penolong Pengarah Bahasa, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan." "Raifili Anjur Kempen 1 Juta Batik Percuma Buat Penjawat Awam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAlor Setar \u2013 Syarikat pengeluar batik tempatan, Raifili menyediakan satu juta batik percuma kepada para penjawat awam di negara ini menerusi kempen \u201c1 Juta Batik Percuma buat Penjawat Awam\u201d. Kempen tersebut bermula dari bulan Mac dan dilancarkan secara rasmi pada 2 September 2022 serta boleh ditonton secara dalam talian melalui laman media sosial Facebook, Raifili World.\nKetua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, usaha berkenaan dapat menggalakkan pemakaian batik Malaysia dalam kalangan penjawat awam di samping menggayakan keunikan dan keindahan batik dalam kehidupan seharian yang bukannya terhad sebagai pakaian rasmi kerja dan untuk majlis kerajaan sahaja.\n\u201cPermintaan batik amat tinggi dalam kalangan penjawat awam kerana penjawat awam diwajibkan memakai batik pada setiap hari Khamis bagi tujuan memartabatkan pemakaian batik Malaysia,\u201d ujar Tan Sri Mohd Zuki Ali sewaktu melancarkan kempen tersebut bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Kedah.\nTambah beliau lagi, ketua-ketua jabatan juga boleh menguar-uarkan kempen yang dilaksanakan oleh Raifili dalam usaha mempromosi dan menggalakkan pemakaian batik Malaysia dalam kalangan masyarakat, khususnya penjawat awam negara ini.\nPengasas Raifili, Siti Fitriyah Harun pula berkata, menerusi kempen berkenaan, syarikatnya menyokong hasrat dan usaha Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob yang telah mengisytiharkan 3 Disember setiap tahun sebagai Hari Batik Malaysia bagi menggalakkan Keluarga Malaysia memakai pakaian berteraskan batik Malaysia.\n\u201cPihak Raifili ingin berkongsi kegembiraan dengan para penjawat awam dan berharap agar kempen ini dapat menjadikan Batik Eksklusif Raifili yang bermotifkan batik moden Malaysia sebagai pilihan utama fesyen penjawat awam. Di samping itu, sebanyak 1000 helai batik ditawarkan oleh pihak Raifili untuk ditebus oleh penjawat awam yang mengunjungi Jelajah AKM Negeri Kedah\u201d jelas Siti Fitriyah Harun.\nMenurut Siti Fitriyah Harun, lebih 300 ribu penjawat awam di negara ini telah menebus batik percuma sejak pelancaran kempen ini secara dalaman pada Mac lalu. Selain itu, pihaknya turut menerima maklum balas yang baik dan memberangsangkan daripada penjawat awam yang memuji material kain batik eksklusif yang dihasilkan oleh Raifili berkualiti tinggi, lembut, cantik, selesa dipakai, warna tidak luntur, tidak mudah kecut dan mudah digosok.\nPara penjawat awam di negara ini boleh menebus kain batik percuma yang berbaki hampir 700 ribu helai lagi melalui pautan https://1jutabatikpercuma.raifili.com/ atau menghubungi pengedar sah Raifili di seluruh negara." "Larian Perlis-Nakawan Ultra 2022 Mengangkat Perlis Sebagai Destinasi Pelancongan Sukan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Majlis Pelancaran Promosi Larian Perlis-Nakawan Ultra 2022 peringkat Borneo dengan tema \u201cThe Thrill of Northern Trails\u201d yang diadakan di Pejabat Smart Leisure & Travels (SLT) Sdn. Bhd. di Chong Lin Park, Kuching dirasmikan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.\nAcara larian ini menyasarkan seramai 800 orang peserta yang akan melalui Banjaran Nakawan sepanjang 38 km melalui Taman Negara Negeri Perlis. Di samping itu, para peserta akan melalui laluan kawasan ekopelancongan menarik di sekitar Sungai Batu Pahat, kawasan dusun buah-buahan, sawah padi, sungai Lencongan Barat, kampung tradisi dan kawasan hutan simpan. Acara tersebut dianjurkan oleh MEP Ventures (MEP21) Sdn. Bhd. dan Kelab Pelari Denai Putera dengan sokongan Kerajaan Negeri Perlis dan Tourism Malaysia.\nKetibaan tiba baginda berdua disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif\u00a0 SLT Sdn. Bhd., Datuk Nellsen Young dan Ketua Pegawai Eksekutif MEP Ventures Sdn. Bhd., Ku Hasrin Ku Abdul Rahman.\nAntara objektif acara Larian Perlis-Nakawan Ultra 2022 termasuklah membangunkan semula Perlis sebagai sebuah destinasi pelancongan sukan, merangsang ekonomi domestik serta mempromosi dan memperkenalkan acara pelancongan dan tempat-tempat menarik di negeri Perlis.\n\u201cAcara Larian Perlis-Nakawan Ultra 2022 yang melibatkan kategori 50 km, 25 km dan 10 km akan diadakan pada 9 dan 10 Disember 2022 di Kompleks Eko Pelancongan, Sungai Batu Pahat, Perlis. Manakala kategori \u201cSuper Senior\u201d terbuka kepada peserta yang berusia 50 tahun dan ke atas serta kategori \u201cJunior Khas\u201d bagi peserta berusia 12 sehingga 17 tahun turut diperkenalkan buat pertama kali,\u201d ujar Datuk Nellsen Young.\nTurut hadir memeriahkan majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pelancongan Negeri Perlis, Asmaiza Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Dato\u2019 Ts. Kamel Mohamad dan Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato\u2019 Amir Omar.\nYuran pendaftaran \u201cEarly Bird\u201d yang akan tamat pada 22 September ini berharga RM70 untuk kategori 10 km (junior), RM80 untuk 10 km (dewasa), RM130 untuk 25 km dan RM195 untuk 50 km.\nManakala tiket dengan kadar biasa boleh dibeli bermula 23 September hingga 17 Oktober dengan harga RM80 untuk kategori 10 km (junior), RM95 untuk 10 km (dewasa), RM145 untuk 25 km dan RM235 untuk 50 km.\nUntuk maklumat lanjut dan pendaftaran dalam talian, sila layari www.nakawanultra.com.\nBagi peserta dari Borneo (Sarawak Sabah/Brunei/Kalimantan), sila hubungi Smart Leisure & Travels Sdn. Bhd. pada talian 016-8930309/017-9050309/082- 422282, atau e-mel [email\u00a0protected]." "Pertubuhan Silat Tarung Tapan Tiga Malaysia, SK Felda Bukit Damar Melahirkan Pesilat Bertaraf Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLanchang \u2013 Seramai 42 pelajar Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Damar, Lanchang, Pahang diberi pendedahan mengenai seni mempertahankan diri Silat Tarung Tapan Tiga sebagai antara seni warisan bela diri Melayu. Menurut Guru Besar SK Felda Bukit Damar, Ahmad Shakri Hamzah, bagi merealisasikan tujuan itu, sebuah kelab silat ditubuhkan bagi mencungkil bakat-bakat baharu dan memberi peluang kepada murid-murid untuk mewakili sekolah dalam pertandingan silat pada peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.\n\u201cPertubuhan Silat Tarung Tapan Tiga Malaysia ditubuhkan pada 24 Jun 2022 setelah beberapa perbincangan melibatkan pelbagai pihak kerana pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Felda Bukit Damar melihat potensi para pelajar sekolah ini dalam seni silat.\nSelain itu, aktiviti kokurikulum ini mampu membina semangat waja, jati diri dan patriotik demi agama, bangsa dan negara melalui pelbagai disiplin silat yang diajar sepanjang sesi latihan dan pertandingan.\nKelab ini mendapat sokongan mantan guru besar, Saripah Maisarah Syed Zainal, penolong kanan kokurikulum, Khairulzaidi Daud dan Pengerusi Teknik Silat Sekolah-Sekolah Daerah Temerloh, Amien Syirwan Abd Rahman,\u201d jelas Ahmad Shakri.\nSilat Sebagai Kebitaraan SK Felda Bukit Damar\nMenurut Ahmad Shakri lagi, beliau memilih sukan silat sebagai kebitaraan atau aktiviti yang menjadi identiti SK Felda Bukit Damar seiring dengan konsep \u201cSekolahku Sejahtera\u201d yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi melahirkan generasi muda yang hebat dan mampu bersaing dalam pelbagai lapangan, bukan sahaja di Malaysia, malah pada peringkat global.\nSK Felda Bukit Damar Menyediakan Dua Orang Pelatih Silat\nGuru penasihat merangkap Penolong Jurulatih Silat SK Felda Bukit Damar, Liza Juliana Mohd. Yasin dengan tegas berkata, walaupun usia kelab silat yang dikendalikannya masih setahun jagung, namun beberapa orang pelajar telah menunjukkan potensi yang tinggi untuk menyertai dan berjaya dalam pertandingan pada peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.\n\u201cPertubuhan Silat Tarung Tapan Tiga Malaysia berjaya mengenal pasti beberapa pelajar yang boleh diketengahkan dalam pelbagai pertandingan silat. Pada pertandingan silat Kejuaraan Sirkit, 1 Sekolah 1 Silat Peringkat Negeri Pahang 2022, pelajar yang mewakili SK Felda Bukit Damar berjaya membawa pulang tiga pingat emas, tiga pingat perak dan tiga pingat gangsa.\nWakil pesilat perempuan, Nurlin Solehah Mohd. Shariman dinobatkan sebagai Pesilat Terbaik Kategori Puteri Bawah 12 Tahun. Selain itu, tiga orang pelajar Pertubuhan Silat Tarung Tapan Tiga Malaysia akan mewakili Pahang sempena Kejuaraan 1 Sekolah 1 Silat Peringkat Kebangsaan pada 30 September hingga 3 Oktober 2022 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor, Puncak Alam,\u201d jelas Liza Juliana.\nSelain Liza Juliana yang melatih pelajar perempuan, seorang lagi jurulatih, iaitu Mohd. Shariman Hamdan ditugaskan bagi melatih pelajar lelaki SK Felda Bukit Damar.\n\u201cPara ahli Pertubuhan Silat Tarung Tapan Tiga Malaysia berlatih sebanyak sekali dalam seminggu, iaitu pada setiap hari Khamis, bermula pada pukul 5.00 petang hingga 6.30 petang di Dewan Perdana, SK Felda Bukit Damar. Kekerapan latihan akan dipertingkatkan menjelang ketibaan hari pertandingan yang disertai oleh pesilat terbabit.\nPada setiap sesi latihan, para pelajar akan diberi pendedahan mengenai kemahiran \u201dBela Diri Silat Tapan Tiga, Pengenalan Silat, Adab Silat dan Kemahiran Asas Silat\u201d yang melibatkan pergerakan tumbukan, tendangan, tangkisan, kemahiran silat olahraga, kemahiran silat seni tari dan tempur,\u201d terang Mohd. Shariman.\nSukan Silat Mampu Tingkat Disiplin Diri\nPutera Adam Khuzaimi, Pengerusi Pertubuhan Silat Tarung Tapan Tiga Malaysia SK Felda Bukit Damar menjelaskan bahawa penglibatan beliau dan murid-murid sekolah berkenaan dalam sukan silat dapat mendisiplinkan diri mereka.\n\u201cKami perlu gigih berlatih setiap minggu dan menguasai ketangkasan pergerakan silat yang diajar oleh jurulatih. Dalam sukan silat, selain disiplin, minat dan kesungguhan perlu seiring agar mampu menyekat pergerakan musuh atau lawan dalam pertandingan silat yang kami sertai,\u201d jelas Putera Adam.\nManakala Penolong Pengerusi Pertubuhan Silat Tarung Tapan Tiga Malaysia, SK Felda Bukit Damar, Nurlin Solehah Mohd. Shariman menegaskan bahawa penglibatannya dalam sukan silat kerana minat dan galakan ibu bapa.\n\u201cIbu dan bapa saya menggalakkan saya terlibat dalam sukan ini, Mereka amat berbangga dengan pencapaian saya, lebih-lebih lagi apabila saya terpilih sebagai Pesilat Terbaik Kategori Puteri Bawah 12 Tahun baru-baru ini. Saya mahu pergi lebih jauh dan mengimpikan gelaran pesilat profesional serta menyertai lebih banyak pertandingan silat pada pelbagai peringkat khususnya peringkat kebangsaan dan antarabangsa,\u201d jelas Nurlin Solehah.\nUntuk rekod, pesilat SK Felda Bukit Damar berjaya membawa pulang satu pingat perak dan satu pingat gangsa sempena Kejuaraan 1 Sekolah 1 Silat Peringkat Kebangsaan 2021 serta tiga pingat emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa sempena Kejuaraan 1 Sekolah 1 Silat, Peringkat Negeri Pahang 2021.\nManakala pada Kejuaraan Silat Olahraga Jemputan Kebangsaan kali ke-3 anjuran Pertubuhan Silat Cekak Harimau Malaysia (PSCHM) 2021, pesilat SK Felda Bukit Damar berjaya membawa pulang satu pingat emas dan satu pingat perak. Meneruskan kecemerlangan, pesilat sekolah ini juga berjaya menggondol pingat gangsa sempena Cabaran Pencak Silat Peringkat Negeri Pahang 2021.\nMengulas tentang harapan dan perancangan masa depan, Ahmad Shakri mahu melihat para pelajar yang cemerlang dalam sukan persilatan ini bukan sahaja dapat mengharumkan nama SK Felda Bukit Damar, bahkan beliau mampu menyertai pertandingan yang lebih besar apabila meninggalkan sekolah berkenaan.\n\u201cKami menyediakan platform terawal sebelum para pelajar ini memasuki alam persekolahan peringkat menengah, kolej dan universiti. Saya berharap ada antara mereka mampu bergelar pesilat negara dan mengharumkan nama Malaysia pada pertandingan silat berprestij. Usaha ini ibarat melentur buluh, biarlah dari rebungnya,\u201d ujar Ahmad Shakri." "Mengenal Kata Ganda Berentak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMenurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2015: 76-79), kata ganda meliputi kata dasar yang mengalami proses penggandaan penuh, penggandaan separa dan penggandaan berentak. Dalam hal ini, kata ganda berentak ialah kata dasar bebas atau terikat yang mengalami proses penggandaan mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar.\nKata ganda berentak melibatkan kata dasar yang bersifat kata bebas atau morfem terikat.\u00a0 Sebagai contoh, bagi kata ganda berentak lauk-pauk, kata dasarnya lauk ialah kata bebas (morfem bebas), manakala gandaannya pauk merupakan bentuk terikat (morfem terikat) yang tidak wujud secara bebas dalam ayat. Walaupun kita ada kata homonim pauk atau memauk yang bererti \u201cmenarik (mengambil dll) dengan sesuatu yang ada pengait\u201d, kata itu merupakan kata lain dan tidak ada perkaitan makna dengan kata dasar lauk.\nHal ini dikatakan demikian kerana lauk-pauk bererti \u201cbermacam-macam lauk\u201d. Maksud kata ganda berentak lauk-pauk berkaitan dengan kata dasar lauk, dan gandaannya pauk hanya merupakan bentuk iringan untuk melahirkan ujaran yang berentak atau berirama indah. Contoh lain bagi kata ganda berentak sedemikian adalah seperti saudara-mara, hingar-bangar, dan kusut-masai. Kata mara, bangar dan masai yang bersifat kata homonim bebas mempunyai maksud yang jauh berbeza daripada makna kata ganda berentak saudara-mara, hingar-bangar dan kusut-masai.\nAda juga kata ganda berentak yang kedua-dua kata dasarnya bersifat terikat. Contohnya adalah seperti kata hiruk-pikuk. Dalam hal ini, kedua-dua kata dasar hiruk dan pikuk merupakan morfem terikat, dan tidak dapat wujud secara bebas dalam ayat. Oleh itu, kata ganda sedemikian boleh juga dikategorikan sebagai kata ganda berentak semu, iaitu kata ganda berentak dengan penggandaan yang wajib. Contoh lain bagi kata ganda berentak sedemikian adalah seperti porak-peranda, compang-camping dan kucar-kacir.\nAdakah kata bebas yang menampakkan persamaan bunyi vokal atau konsonan dianggap sebagai kata ganda berentak? Jawapannya ialah binaan tersebut merupakan rangkaian kata bebas berentak atau frasa berentak, bukannya kata ganda berentak. Contohnya, frasa nama semak samun menampilkan perulangan bunyi konsonan tetapi frasa tersebut bukan kata ganda berentak kerana kedua-dua kata tersebut dapat wujud secara bebas dalam ayat. Selain itu, kata hubung seperti kata dan atau kata atau dapat diselitkan di antara kata semak dengan samun. Contoh lain bagi frasa sedemikian adalah seperti sampah sarap, lemah lembut dan saudara saudari.\nDalam proses penggandaan berentak, seluruh kata dasar akan diiringi kata gandaan yang mungkin menampilkan ciri pengulangan vokal, pengulangan konsonan atau berentak bebas. Pengulangan vokal melibatkan kata nama, kata kerja dan kata adjektif. Selain itu, semua vokal dalam suku kata kata dasar akan diulang dalam suku kata gandaan yang bersetentangan. Kadang-kadang yang diulang bunyinya termasuk diftong juga. Sila lihat contoh yang berikut:\nGolongan Kata\nKata Ganda\nGandaan (terikat)\nVokal yang Berulang\nsayur-mayur\nsayur\nmayur\na, u\ngotong-royong\ngotong\nroyong\no, o\nkusut-murut\nkusut\nmurut\nu, u\nPengulangan konsonan juga melibatkan kata nama, kata kerja dan kata adjektif. Selain itu, semua konsonan dalam kata dasar atau konsonan dalam suku kata pertama dan kedua kata dasar sahaja akan diulang dalam suku kata gandaan yang bersetentangan. Konsonan lain dalam kata gandaan, sama ada bunyinya sama atau berbeza daripada konsonan dalam kata dasar, tidak perlu diambil kira.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\nGolongan Kata\nKata Ganda\nKata Dasar (bebas atau terikat)\nGandaan (terikat)\nKonsonan yang Berulang\nbatu-batan\nbatu\nbatan\nb, t\nlalu-lalang\nlalu\nlalang\nl, l\nporak-peranda\nporak\nperanda\np, r\nKata ganda berentak bebas pula tidak menampilkan ciri persamaan bunyi antara kata dasar dengan kata gandaan, seperti yang berikut:\nGolongan Kata\nKata Ganda\nKata Dasar (bebas atau terikat)\nGandaan (terikat)\nBunyi yang Berulang\nipar-lamai\nipar\nlamai\na\nturun-temurun\nturun\ntemurun\nt, urun\nkusut-masai\nkusut\nmasai\n\u2013\nBerdasarkan kandungan dalam jadual di atas, kata ganda anak-pinak dikategorikan sebagai kata ganda berentak bebas kerana suku kata kedua (nak) yang sama bunyi tidak diambil kira sebagai pengulangan bunyi vokal atau konsonan.\nKata ganda ipar-lamai mempunyai persamaan dari segi satu bunyi vokal (vokal a) tetapi tidak bersetentangan kedudukannya. Kata ganda ulang-alik hanya mempunyai persamaan dari segi konsonan awal (konsonan l) pada suku kata kedua dan persamaan satu bunyi vokal (vokal a) yang tidak bersetentangan kedudukannya.\nKata ganda turun-temurun hanya menampilkan persamaan konsonan awal (konsonan t) pada suku kata pertama dan persamaan dari segi campuran vokal dan konsonan dalam bentuk urun.\nKata ganda kacau-bilau hanya mempunyai persamaan dari segi bunyi diftong (diftong au) di hujung kata. Bagi kata ganda kusut-masai pula, tidak ada persamaan sama sekali antara kata dasar dengan kata gandaan." "Lawatan Raja Muda Perlis ke Sarawak: Semarakkan Semangat Persaudaraan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuching \u2013 Selepas menjayakan program Kayuhan Santai berbasikal di sekitar kawasan Petra Jaya dan Majlis Santapan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis dan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis telah berkenan berangkat untuk melawat Borneo Cultures Museum (BCM) yang terletak di Jalan Tun Abang Haji Openg, Kuching pada 3 September 2022.\nDalam lawatan tersebut, DYTM Tuanku dibawa ke bangunan BCM yang dibina lima tingkat dengan bercirikan binaan serba moden yang memaparkan reka bentuk seni bina yang tersendiri serta ruang pameran interaktif berkeluasan 6000 meter persegi. Ruang ini memaparkan keunikan kraf tradisional dan kekayaan warisan budaya masyarakat Sarawak.\nPerasmian pembukaan muzium terbesar di Malaysia dan muzium kedua terbesar di Asia Tenggara ini disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 4 Mac 2022 yang sekali gus dibuka kepada kunjungan orang ramai. Muzium ini telah dibina dengan kos sebanyak RM308 juta pada tahun 2015 dan siap sepenuhnya pada tahun 2019.\nSelepas melawat BCM, DYTM Tuanku telah berkenan berangkat untuk melawat Galeri Songket dan Keringkam Sarawak yang terletak di Jalan Masjid, Kuching. Rombongan DYTM Tuanku tiba di galeri berkenaan dengan disambut dan diberikan penerangan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan), Yang Berbahagia Datu Dr. Sabariah Putit.\n\nGaleri ini telah dirasmikan oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 28 Mac 2022. Projek Inovasi Warisan Songket dan Keringkam Sarawak diterajui oleh Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) bagi membangunkan ekosistem yang bersepadu dan lestari yang turut bertujuan untuk meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat selain melindungi, memelihara dan memulihara produk warisan yang bernilai ini.\nLebih menarik, produk yang terhasil di sini telah diberi nafas baharu, berinovasi serta mempunyai sentuhan kontemporari seperti kasut, beg kepit, pakaian dan sebagainya. Setakat ini, Sarawak mempunyai kira-kira 120 orang penenun songket dan sebanyak 246 orang pakar penyulam Keringkam.\nPada keesokan paginya, DYTM Tuanku dan rombongan berkenan berangkat ke Kampung Budaya Sarawak (KBS) yang terletak di kaki Gunung Santubong. Muzium hidup yang memenangi anugerah ini mempamerkan tradisi Sarawak yang kaya dengan pelbagai warisan budaya dan memaparkan produk seperti pakaian dan kraf tangan, budaya dan rumah tradisional masyarakat etnik utama di Bumi Kenyalang.\nSelain melawat rumah tradisional masyarakat etnik di sekitar kawasan KBS, DYTM Tuanku juga turut disajikan dengan persembahan kebudayaan oleh artis KBS. KBS juga menjadi tempat utama untuk penganjuran acara yang bertaraf antarabangsa seperti Pesta Muzik Hutan Hujan Dunia (Rainforest World Music Festival) dan Pesta Menuai Dunia.\nSebaik-baik sahaja selesai membuat lawatan di KBS, DYTM Tuanku dan rombongan berkenan untuk berangkat balik menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching untuk penerbangan pulang ke Perlis. Keberangkatan tiba DYTM Tuanku dan rombongan ke Bumi Kenyalang selama tiga hari telah menyemarakkan banyak acara yang menarik sekali gus menjadi kenangan yang terindah khususnya bagi pihak kerajaan dan juga rakyat Sarawak." "Memperkasakan Budaya Membaca di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam menghadapi era Revolusi Industri 4.0, permintaan terhadap teknologi terutamanya telefon pintar semakin bertambah. Peningkatan ini dikaitkan dengan populariti media sosial yang semakin mendaki minat dalam hati kalangan masyarakat Malaysia. Variasi kandungan visual dalam media sosial seperti Instagram, Youtube dan TikTok mengubah horizon pemikiran para remaja daripada membaca kepada melayani kandungan-kandungan visual tersebut. Kebebasan bermain gajet menyebabkan remaja banyak menghabiskan masa di depan telefon pintar peribadi. Tidak dapat dinafikan, kandungan visual media sosial yang dicipta oleh para pempengaruh memberikan impak positif terutamanya ketika negara dilanda pandemik seperti sokongan moral, psikologi, psikospiritual, ekonomi, hiburan dan banyak lagi.\nWalau bagaimanapun, fenomena ini menyebabkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia semakin menurun. Lebih membimbangkan, kajian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan 72.1 peratus anak muda memilih untuk tidak menyambung belajar selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sekiranya keadaan ini berterusan, negara akan menghadapi kekurangan pakar yang merencatkan produktiviti industri tertentu dalam 5 hingga 10 tahun akan datang.\nPara remaja yang terpengaruh dengan keuntungan sesetengah pempengaruh akan menyuarakan bahawa tanpa pendidikan sekalipun, individu dapat berjaya secara material melalui platform media sosial. Kesinambungan fenomena ini akan mencetuskan lambakan kandungan visual tanpa menepati nilai ilmiah dan tahap kesusilaan yang sesuai dengan adab sopan masyarakat Malaysia. Hal ini dilakukan semata-mata untuk mendapatkan jumlah penonton yang banyak di laman maya dan mengharapkan kandungan visual tersebut menjadi tular. Sehubungan dengan itu, makalah ini mengemukakan langkah-langkah memulihkan dan memperkasakan budaya ilmu terutamanya amalan membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia.\nPepatah Melayu ada menyebut, \u201cmelentur buluh, biarlah dari rebungnya\u201c. Dalam hal ini, perhatian terhadap kebolehan membaca perlu diutamakan kepada murid-murid sejak zaman prasekolah lagi. Budaya 3M (membaca, mengira dan menulis) merupakan senjata ampuh bagi mewujudkan bangsa membaca dan mencintai ilmu sejak dari bangku sekolah. Keciciran murid dalam menguasai ilmu 3M menyebabkan semangat mereka untuk belajar semakin menurun. Mereka bukan sahaja tidak berminat untuk membaca atau belajar, bahkan turut berasa rendah diri kerana gagal menguasai tiga elemen asas tersebut. Hal ini sekali gus menyebabkan mereka berasa tersisih daripada rakan-rakan sekelas serta meragut semangat mereka untuk belajar bersama-sama rakan yang lain.\nFaktor persekitaran seperti ini akan menyebabkan murid-murid lebih memilih untuk menggunakan telefon pintar milik ibu bapa atau penjaga untuk mengisi masa lapang kerana pada pandangan mereka, jika membuka buku sekalipun, mereka tidak boleh membaca. Apatah lagi untuk menyelesaikan kerja rumah yang diberikan oleh guru sekolah mereka.\nKlimaks fenomena ini berlaku sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dilaksanakan semasa pandemik COVID-19 melanda negara. Hal ini kerana para guru tidak dapat memberi perhatian secara holisitik sebagaimana kelas fizikal. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk memastikan anak-anak mereka menguasai asas elemen 3M. Dengan penguasaan 3M, anak-anak secara kendiri akan meneroka dunia pembelajaran termasuklah bersaing dengan rakan-rakan sekelas dalam aspek akademik. Hal ini secara tidak langsung membolehkan anak-anak membaca buku-buku yang diminati dan bukan lagi meneliti serta melihat dari sudut ilustrasi semata-mata.\nDengan perkembangan teknologi maklumat, ibu bapa boleh menggunakan beberapa platform media sosial untuk membantu anak-anak menguasai asas 3M. Realitinya bukan semua kandungan media sosial bersifat dewasa, tetapi ada juga yang bermanfaat khususnya bagi pelajar sekolah. Tanggungjawab yang perlu dilakukan oleh ibu bapa adalah mengawal penggunaan media sosial anak-anak agar digunakan untuk tujuan yang baik. Misalnya, saluran Serasi Muzik di Youtube memuatkan pelbagai kandungan yang dapat membantu anak-anak untuk mengenal huruf, mengeja, membaca dan mengira. Penggunaan kandungan visual seperti ini juga boleh digunakan oleh para guru untuk mengelakkan para murid berasa bosan sambil melakukan pelbagai aktiviti menarik seperti mengeja sambil menyanyi.\nSelain itu, pelajar sekolah menengah perlu didedahkan dengan variasi genre sastera yang menarik. Penulis tidak menafikan bahawa Komponen Sastera (KOMSAS) merupakan inisiatif yang berupaya memupuk semangat membaca. Walau bagaimanapun, kita perlu mengakui bahawa sesetengah prosa memerlukan suntikan orang muda agar seiring dengan perkembangan zaman.\nKandungan cerpen, drama dan novel yang berkisarkan keadaan pada masa silam kurang menarik perhatian para pelajar. Hal ini kerana para pelajar terdedah dengan variasi perkembangan teknologi dan industri. Dengan bercambahnya pelbagai aplikasi dan permainan dalam talian, agak sukar bagi sastera mendapat tempat dalam jiwa remaja sekiranya kita masih berpeluk tubuh dan menggangap orientasi tradisional masih relevan. Justeru, kandungan prosa bukanlah perlu diubah, sebaliknya perlu disemak semula dan disusun mengikut kesesuaian agar mempunyai nilai komersial dan mampu menarik minat para pembaca terutamanya para pelajar.\nPada masa yang sama, tumpuan terhadap mata pelajaran yang dianggap lebih penting seperti Sains dan Matematik menyebabkan perpustakaan sekolah menghadapi kekurangan bahan-bahan sastera. Untuk memupuk semangat membaca dan mencintai warisan bangsa, pihak sekolah perlu memberi perhatian yang sekata dan tidak menganaktirikan keperluan mata pelajaran lain. Pihak sekolah juga boleh melakukan pelbagai inisiatif lain seperti penganjuran aktiviti sastera menerusi pembacaan puisi santai bersama sasterawan negara pada peringkat sekolah. Kolaborasi ini dilihat dapat membeli jiwa dan membentuk budi para pelajar.\nHal ini dikatakan demikian kerana kuasa sastera dapat melahirkan manusia yang budiman, gembira berbuat baik dan takut berbuat jahat. Namun begitu, perlu ditegaskan sekali lagi bahawa aktiviti seperti ini perlu dihiasi dengan nilai-nilai muda dan bersifat semasa. Hal ini penting supaya usaha yang dilakukan dapat membeli jiwa anak muda dan bukan sekadar memenuhi kalendar aktiviti persekolahan.\nDi samping itu, peningkatan penggunaan aplikasi TikTok menyebabkan masyarakat lebih tertarik dengan kandungan visual berbanding penulisan kandungan. Hal ini menyebabkan aplikasi media sosial seperti Facebook kurang mendapat tempat dalam hati golongan muda walaupun Facebook menjadi platform kepada para cendekiawan, sasterawan, pensyarah dan ahli politik untuk mengemukakan pendapat tentang sesuatu isu.\nPendapat yang ditulis kebiasaannya dibaca oleh golongan yang lahir sebelum tahun 2000. Hal ini bermakna, sesuatu isu yang diulas oleh para intelektual dan tokoh negara tidak sampai kepada minda anak-anak muda terutamanya yang lahir selepas tahun 2000. Majoriti golongan ini merupakan pengguna media sosial yang lebih tertarik dengan kandungan visual berbentuk video ringkas dalam Instagram dan TikTok.\nPara tokoh negara merangkumi bidang agama, sastera, politik mahupun ekonomi dianjurkan untuk mencipta kandungan visual separa ilimiah secara santai atau sepenuhnya ilmiah. Usaha ini dilihat dapat menarik minat para belia untuk menghalusi isu-isu kritikal seputar persoalan sosial dan negara. Gerak kerja ini juga menyuntik semangat anak muda untuk menganalisis pandangan-pandangan tersebut secara kritis. Kesannya, mereka terpaksa kembali membaca dan melakukan sorotan literatur secara kritis untuk menilai respon-respon berbangkit. Hal ini sekali gus mewujudkan budaya berdaya saing dalam keilmuan yang dapat mencetuskan idea-idea baharu untuk menyelesaikan pelbagai masalah pada peringkat domestik dan global. Sememangnya diharapkan agar generasi muda dapat menyumbang idea-idea segar untuk mengatasi pelbagai masalah yang dihadapi masyarakat kebelakangan ini.\nUsaha memfilemkan perjuangan tokoh pejuang negara seperti Mat Kilau perlu diberi penghargaan. Hal ini dikatakan demikian kerana kandungan filem berunsur patriotisme dapat menyemai perasaan ingin tahu dalam diri remaja. Tambahan pula, sesetengah pandangan mencetuskan konflik dengan mengatakan bahawa filem Mat Kilau hanya rekaan dan tokok tambah sejarah semata-mata. Polemik ini menyebabkan semangat ingin tahu masyarakat khususnya remaja semakin membuak-buak. Kesannya, mereka secara sukarela mengkaji dan menganalisis sejarah melalui pembacaan.\nJika usaha memfilemkan perjuangan tokoh-tokoh pejuang tanah air tidak dapat mewujudkan budaya membaca secara holisitik, namun usaha tersebut sekurang-kurangnya dapat menghiasi jiwa-jiwa anak muda dengan perjuangan dan budaya ilmu yang patut diteladani di samping dapat menonjolkan sumbangan para tokoh yang telah berjasa kepada negara.\nKonklusinya, amalan membaca merupakan lambang ketinggian budaya ilmu dalam kalangan masyarakat. Membaca merupakan aktiviti yang dapat meningkatkan ilmu pengetahuan, membangkitkan kekuatan memori dan santapan akal yang dapat melatih individu berfikir secara kritis. Melalui pembacaan, penjanaan idea dapat dihasilkan dan berguna untuk menyelesaikan pelbagai masalah. Oleh hal yang demikian, langkah-langkah memulihkan dan memperkasakan budaya ilmu melalui pembacaan perlu diberi perhatian agar masyarakat Malaysia khususnya golongan remaja tidak tenggelam dalam arus peredaran zaman sehingga mengabaikan budaya ilmu yang menjadi asas membina tamadun sejahtera." "ATMA Memartabatkan Budaya Melayu ke Persada Antarabangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Majlis Kenduri Budaya II anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) dengan kerjasama Pusat Kebudayaan Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersempena dengan kunjungan para pelajar Jepun dari Jabatan Pengajian Bahasa Melayu, Universiti Pengajian Asing Tokyo, Jepun berlangsung pada 8 September 2022 (Khamis) dari pukul 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari di Taman Pantun, Istana Puteri Bongsu, UKM.\nMajlis Kenduri Budaya II adalah antara usaha pemartabatan dan pelestarian warisan bangsa Melayu merangkumi bahasa dan kebudayaan Melayu sehingga ke peringkat antarabangsa. Majlis ini dirasmikan oleh Pengarah ATMA, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.\nMenurut Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, program ini merupakan rangka lawatan muhibah dan program penyerapan seni budaya Melayu yang telah dilaksanakan sejak tahun 2015 antara Jabatan Pengajian Bahasa Melayu, Universiti Pengajian Asing Tokyo, Jepun dengan ATMA.\n\u201cSaban tahun mereka datang untuk menghayati dan mendalami bahasa Melayu dan unsur-unsur kebudayaan Melayu sebagai bahagian penting dalam pengajian mereka di universiti. Kehadiran mereka menjadi lambang bahawa bahasa Melayu dan budaya Melayu diterima dengan baik pada peringkat antarabangsa. Di Jepun, Universiti Pengajian Asing Tokyo merupakan universiti yang paling unggul dalam pengajian bahasa Melayu dan terdapat sejumlah universiti lain yang mengajar bahasa Melayu dalam bentuk kursus-kursus elektif,\u201d ujar Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.\nProfesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan turut berkata, di negara China sekarang terdapat 13 buah universiti yang menawarkan program ijazah bahasa Melayu dengan tempoh selama empat tahun, selain kursus elektif dan kursus yang khusus untuk bidang kewangan dan perniagaan kerana hubungan kebudayaan yang rapat antara Malaysia dengan China di samping negara China yang merupakan rakan dagangan terbesar bagi eksport komoditi dari Malaysia. Semua pelajar yang mengambil jurusan ijazah bahasa Melayu diberikan nama Melayu. Oleh itu, perkara ini secara tidak langsung memberikan kesan dari segi psikologi serta penyerapan adab, budi bahasa dan kebudayaan Melayu kepada para pelajar tersebut.\nTambah Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan lagi, berdasarkan data daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), terdapat lebih kurang 100 buah institusi yang memberikan perhatian kepada sastera Melayu, kebudayaan Melayu, bahasa Melayu, sejarah Melayu dan semua aspek berkaitan dengan tamadun Melayu di seluruh dunia.\n\u201cATMA merupakan institut kecemerlangan universiti yang diwujudkan khusus untuk mendalami kajian dan pengajaran termasuklah kursus intensif kemahiran bahasa Melayu dan kebudayaan Melayu yang disertai oleh pelajar antarabangsa. ATMA dalam perancangan untuk membuka gelanggang seni silat, gelanggang seni pedang Sukma Kencana dan lapangan sasar memanah di kawasan Istana Puteri Bongsu, UKM. Saya juga berharap agar hubungan kebudayaan antara Jepun dengan Malaysia dapat ditingkatkan dan anak-anak samurai dapat mempelajari, menghayati dan mendalami budaya Melayu dengan lebih erat pada masa depan,\u201d kongsi Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.\nAntara aktiviti yang turut dipersembahkan dalam majlis ini ialah persembahan tarian tradisional, demonstrasi seni budaya Melayu yang merangkumi busana Melayu, senjata Melayu dan tradisi lisan Melayu oleh Dato\u2019 Paduka Dr. Mohd. Rosli Saludin serta demonstrasi pembuatan wau oleh WCO Holdings.\nTurut hadir ialah Profesor Madya Dr. Asyaari Muhamad, Timbalan Pengarah ATMA, Puan Faridah Mohamad, Pensyarah pengiring pelajar Jepun, Universiti Pengajian Asing Tokyo dan Encik Mohamed Asrof Semin, Pemangku Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti, UKM." "Pelancaran dan Resensi Buku Karya Fai Zakaria: Kala Kesunyian Membingitkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Majlis Pelancaran dan Resensi Buku Karya Fai Zakaria, Kala Kesunyian Membingitkan telah berlangsung pada 10 September 2022 (Sabtu) pada pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Syeikh Tahir, Wisma DBP, Kuala Lumpur.\nMajlis tersebut dirasmikan oleh Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, Sasterawan Negara. Majlis tersebut turut diserikan dengan resensi buku yang menampilkan barisan panel yang terdiri daripada Dr. Shamsudin Othman, Ketua Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Encik Faizal Sidik selaku Kurator Bebas. Moderator yang menjayakan resensi buku itu ialah Puan Raiha Bahaudin.\nPengarah Penerbitan DBP, Haji Razali Che Mat yang hadir dalam majlis tersebut berkata, seorang penulis dan pelukis akan berasa gembira dan bangga apabila setiap karya yang dihasilkan berjaya diterbitkan. Rentetan itu, penulis dan pelukis akan berasa puas apabila karya dan buku mereka dilancarkan dan dibaca oleh masyarakat.\nTambah Haji Razali Che Mat lagi, DBP akan mengundang Fai Zakaria ke Studio DBP dan TV DBP untuk berkongsi dan mengulas dengan lebih lanjut tentang isi buku beliau yang bertajuk Kala Kesunyian Membingitkan berserta kehadiran pengkritik karya dan buku untuk berkongsi pandangan dan kritikan kerana apabila berlakunya satu pertembungan pandangan, maka akan terhasil satu keuntungan. Oleh itu, katanya kita perlu berani mara ke hadapan.\nMenurut Sasterawan Negara, Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, terdapat sinonim dalam karya-karya Fai Zakaria dan beliau juga merupakan seorang guru yang baik dalam menerangkan setiap makna di sebalik karya-karya yang dihasilkannya. Bahkan, setiap hasil lukisan Fai Zakaria mendidik masyarakat tentang kepentingan kejujuran dalam berkarya. Menurut beliau:\n\u201cDalam buku ini, \u00a0kita dapat melihat gerakan emosi, jiwa, fikiran, kemarahan dan kesunyian menjadi satu komposisi batin yang dilontarkan menjadi kenyataan. Dari segi simbolik kejiwaan, dengan melukis lukisan-lukisan ini, beliau dapat melepaskan diri daripada kesakitan yang sedang dideritainya.\u201c\n\u201cDi samping itu, saya mencadangkan supaya sudut penulis diwujudkan dan disemarakkan kembali seperti yang sering disarankan oleh Sasterawan Negara, Usman Awang untuk memeriahkan sastera, budaya dan sebarang perkara yang mempunyai hubungan dengan kejiwaan serta kecintaan masyarakat kita. Pelukis dan sasterawan adalah milik kita bersama,\u201d ujar Datuk Dr. Siti Zainon Ismail.\nSementara itu, Dr. Shamsudin Othman berkongsi tentang hubungan penulis dengan pelukis yang tidak berada dalam dunia yang berbeza. Seorang pelukis hidup dengan garis dan kata, seorang penyair dan penulis hidup dengan kata-kata, manakala seorang seniman yang bagus pula mengadunkan garis dan kata-kata menjadi satu.\nTambah beliau lagi, penulis dan pelukis boleh menjadi sebati kerana keterikatan dengan konsep \u201csentuhan terhadap keindahan\u201d. Penyerapan roh konsep yang luar biasa ini membolehkan golongan penulis memindahkan konsep \u201csentuhan terhadap keindahan\u201d dalam bentuk kata-kata. Bagi golongan pelukis pula, mereka boleh memindahkan konsep \u201csentuhan terhadap keindahan\u201d dalam bentuk ton warna.\n\u201cLukisan juga menterjemahkan emosi dan perasaan yang dirasai oleh pelukis kepada bentuk kata-kata. Saya melihat hasil karya Fai Zakaria dalam buku ini berada dalam tiga alam, iaitu alam imaginasi, alam linguistik dan alam realiti seni halus. Bagi alam imaginasi, idea awalnya berada dalam satu ruang lingkup contengan. Alam linguistik pula menterjemahkan imaginasi yang sangat indah dalam bentuk kata-kata dengan genre puisi. Apabila Fai Zakaria berjaya memindahkan alam imaginasi kepada alam linguistik, iaitu kata-kata dan kemudian dijelmakan dalam bentuk alam realiti seni halus, kesannya menghasilkan satu karya seni yang sangat indah, unik dan menarik jika diteliti dengan lebih mendalam,\u201d ujar Dr. Shamsudin Othman.\nEncik Faizal Sidik pula menjelaskan bahawa setiap pelukis mencari diri mereka dalam lukisan melalui imej-imej yang dihasilkan. Imej yang dihasilkan menjadi lambang identiti diri pelukis tersebut. Manakala karya-karya yang dihasilkan oleh Fai Zakaria adalah bersifat surealisme dan kontemporari.\nFaizal Sidik turut berkata, karya-karya yang dihasilkan oleh penulis dan pelukis perlu didokumentasikan supaya dapat ditatap oleh masyarakat khususnya generasi masa depan negara. Karya-karya yang dihasilkan oleh pelukis merupakan satu perkongsian pengalaman hidup pelukis tersebut sepanjang menghasilkan karya-karyanya.\n\u201cOleh sebab buku-buku berkaitan karya-karya lukisan amat kurang berada di pasaran, maka kebanyakan pelajar aliran seni banyak merujuk buku-buku berkaitan lukisan daripada sumber luar negara. Penghasilan buku karya Fai Zakaria ini merupakan satu usaha yang berkesan untuk menambah khazanah dalam bidang seni negara,\u201d kata Faizal Sidik.\nTurut hadir dalam majlis tersebut ialah Encik M Azhari Edin, Ketua Editor Bahagian Buku Umum DBP, Encik Mohd Azam Juhari, Pengarah DBP Wilayah Timur dan Puan Norhanifah Mohamad, editor yang menangani buku tersebut. Pameran dan jualan buku Kala Kesunyian Membingitkan dan buku terbitan DBP yang lain turut diadakan oleh Bahagian Pemasaran dan Pengedaran DBP untuk memeriahkan majlis." "Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Daerah Segamat, Johor Melawat Kampung Warna-warni Seberang Ramai, Kuala Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Perlis\u00a0\u2013 \u201cKeramahan masyarakat setempat di Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis amat mengujakan.\u201c\nDemikian dikongsikan oleh Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Daerah Segamat, Johor, atau lebih dikenali umum sebagai \u201cWoman Instituition\u201c (W.I), Datin Hajjah Latifah Aluwi, ketika mengetuai rombongan sebanyak 23 orang ahlinya ke sekitar kampung transformasi pada 11 September 2022. Kampung transformasi tersebut diilhamkan okeh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulis (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, serta anakanda sulung baginda, Yang Amat Mulia (YAM) Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail. Projek ini juga merupakan inisiatif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama pelbagai agensi, pihak swasta, individu, serta masyarakat setempat.\nTambah istimewa ialah kemuncak kunjungan mereka dengan keberangkatan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil untuk bersama-sama dalam lawatan ke projek tersebut.\nKeberangkatan tiba DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah yang amat mesra dan rapat dihati warga kampung berkenaan disambut oleh Pengerusi W.I. Negeri Perlis merangkap Naib Pengerusi W.I. Kebangsaan, Tengku Dato\u2019 Shireen Tengku Suleiman dan Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan dan Keurusetiaan MAIPs., Puan Halina Abd Wahid.\nMenurut Latifah, hubungan silatulrahim antara ahli W.I Daerah Segamat dengan Negeri Perlis bertambah erat hasil lawatan ke Perlis ini. Program pada petang tersebut berakhir dengan persembahan kebudayaan tradisional negeri Perlis, seperti tarian canggung, dan tarian zapin dari Johor.\nPada kesempatan ini, Tuanku Raja Puan Muda memuji masyarakat setempat yang bersatu hati dan usaha pihak lain yang sentiasa membantu dalam menjayakan projek ini. Baginda mengajak semua untuk bersama-sama memastikan tahap kebersihan terus dipertingkatkan demi keselesaan semua." "\u201cPewaris Seni Pentas\u201d Juara Sayembara Randai Malaysia 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Ujong \u2013 Bertenaga, harmoni dan penuh semangat! Itulah antara tiga elemen penting yang mendefinisikan Kumpulan Pewaris Seni Pentas apabila dinobatkan sebagai Juara Sayembara Randai Malaysia 2022 pada 10 September 2022. Kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2021 itu terdiri daripada pelajar seni teater dan telah menyapu bersih semua kategori yang dipertandingkan dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM12 000 dengan mempertaruhkan \u201cRandai Si Ujang\u201d. Selain menjadi juara dengan hadiah RM9000, kumpulan ini turut menggondol anugerah Pelakon Lelaki Terbaik (RM500), Pelakon Wanita Terbaik (RM500), Pendendang Terbaik (RM500) dan Gelombang Terbaik (RM1500).\nMenurut Ketua Hakim, Dr. Mohd Effindi Samsuddin dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, persembahan randai amat memerlukan keberanian, ilmu dan kefahaman. Persembahan randai bukan sebuah produksi yang mudah berbanding pementasan teater moden dan bukan sekadar hiburan. Persembahan randai memerlukan banyak tenaga dalam membentuk suatu momentum yang akhirnya bergabung dengan aspek persembahan yang lain seperti muzik, cahaya, nyanyian dan seni lakon.\nRandai merupakan dramatari rakyat yang berasal daripada masyarakat Minangkabau yang terdiri daripada gerak tari, nyanyian, muzik instrumental, penceritaan dan lakonan dengan tariannya berdasarkan gerakan pencak silat dan ditarikan dalam bentuk bulatan dengan iringan alat muzik tradisional, iaitu caklempong, rebana, salung dan gong. Hal ini membezakan randai daripada persembahan seni teater moden mahupun teater tradisional seperti bangsawan. Gabungan pelbagai unsur, memerlukan kesatuan dan keharmonian dalam memberikan makna dan mesej yang ingin disampaikan.\nSeni persembahan randai mendapat tempat di Semenanjung Malaysia sekitar tahun 1930-an. Randai Negeri Sembilan diberikan variasi berbanding Randai Minangkabau dari aspek lagu pembukaan dan dialek yang digunakan. Dalam persembahan Randai Negeri Sembilan, tiga buah lagu bongai dipilih sebagai lagu wajib untuk persembahan Buka Gelanggang, iaitu Budu Landai, Cantik Manis dan Anak Bocek. Dialek Negeri Sembilan yang berbeza bunyinya berbanding dialek Minangkabau, dari segi sebutan dan lenggok juga memberikan pewarnaan tempatan kepada sayembara ini.\nKomitmen dan semangat dalam kumpulan yang ditunjukkan oleh naib juara, Kumpulan Cemara Seni yang mempersembahkan \u201cRandai Apak\u201d, mengisahkan perjuangan anak muda dalam melestarikan randai di kampungnya. Manakala Kumpulan Simectra UiTM (cawangan Seremban) pula mempertaruhkan \u201cRandai Somondo\u201d, kisah orang luar Suku Mungkal menyertai suku ibu angkatnya untuk berkahwin dengan wanita tempatan.\nSuatu hal yang unik dalam persembahan randai adalah props yang amat minimalis. Anak-anak randai membentuk bulatan yang dipanggil gelombang dan kekal membentuk pergerakan dalam bulatan ini. Ketiadaan set memerlukan koreografer yang kreatif supaya cerita dapat difahami penonton. Kumpulan Pewaris Seni Pentas yang menjuarai sayembara ini mendendangkan lagu-lagu Bongai dan lagu-lagu dalam loghat Negeri Sembilan yang dipopularkan oleh Ally Nor dan Mastura termasuklah Apo Yang Sakit? dan Alahai Anak Omak sebagai mendukung kisah si anak bujang yang teringin untuk beristeri tetapi tiada pekerjaan yang boleh menjamin kehidupan.\nDalam semua persembahan randai, cerita, lagu, tarian dan seni mempertahankan diri digabung serta disulam secara berselang-seli. Kaedah ini tidak membosankan penonton dan meredakan sebarang ketegangan dalam cerita. Para penari dalam bulatan memakai seluar khas, iaitu Seluar Galembong yang boleh mengeluarkan bunyi apabila ditepuk pada kain yang diregangkan dengan kaki. Setiap tepukan memberikan rentak (beat) bagi memandu pergerakan anak-anak randai dalam bulatan.\nDua orang hakim dalam sayembara ini, iaitu \u00a0Mohamad Yusmar Afeendi Yusof, pensyarah Pusat Seni Pentas Tradisional (PUTRA) ASWARA dan Mohamad Arif Taslim (Aloeng Silalahi), seorang aktivis teater diberikan tanggungjawab menilai ketiga-tiga persembahan bersama-sama ketua hakim. Aspek yang diambil kira adalah kejelasan konsep randai, susun atur, kualiti muzikal, gaya unsur nyanyian, garapan, lambang, unsur kekaguman (spectacular), kesegaran dan usaha untuk mengekalkan keaslian diberikan sebanyak 45 markah.\nManakala sebanyak 20 markah diberikan kepada watak dan perwatakan yang jelas, maksud dalam suara dan ruang lakon. Aspek pengarahan, motivasi, komposisi dan kejelasan naskhah serta poetic licence dalam persembahan diberikan sebanyak 15 markah.\n\u201cBunyi dan cahaya akan mendorong kepada suasana cerita (ambience) dalam memberikan fungsi yang amat bermakna. Busana dan solekan pula haruslah membawa pengertian tertentu sesuai dengan konsep yang dibawakan. Daripada tepuk dan lenggok, persembahan berkembang dan dinamiknya memenuhi ruang kreativiti yang kompleks,\u201d kata Dr. Mohd Effindi, Ketua Hakim Sayembara Randai Malaysia 2022.\nSementara itu, Puan Noor Idlah Abdul Halim, Pengarah Program Sayembara Randai Malaysia 2022 yang juga Pengerusi Kelab Penggiat Seni Teater Negeri Sembilan (KASET) berkata, \u201cKami telah menerima maklum balas yang amat positif daripada penonton dan sokongan sebegini memberi semangat kepada kami untuk meneruskan kelangsungan persembahan randai supaya generasi masa depan, khususnya anak-anak Negeri Sembilan boleh berbicara tentang randai dengan rasa bangga.\u201d\nKASET yang ditubuhkan pada tahun 2010 telah banyak memenangi pelbagai anugerah dalam festival teater pada peringkat negeri dan kebangsaan. Antaranya termasuklah Johan Festival Teater Malaysia Negeri Sembilan 2015 hingga 2017 dan 2019." "Editor Dewan Budaya Dedah Peluang Penulisan dalam Majalah DBP dan JendelaDBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNilai \u2013 Menulis artikel untuk majalah sering kali dikatakan sukar dan mengambil masa yang lama oleh kebanyakan penulis, namun cabaran itu dapat diatasi menerusi program pendedahan yang dijalankan untuk penulis yang berminat.\nEditor majalah Dewan Budaya, Muhammad Lutfi Zahid, menyatakan bahawa menjadi tanggungjawabnya untuk berkongsi ruang dan peluang yang ada, serta kaedah dan teknik penulisan yang berkesan dalam penerbitan majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), khususnya Dewan Budaya.\n\u201cSaya melihat usaha yang dilakukan oleh USIM Writers\u2019 Pool (UWP) ini mampu meningkatkan jumlah penulis yang berani mencuba menulis artikel untuk majalah, serta berkongsi informasi atau pandangan dengan lebih mendalam,\u201d ujarnya dalam program \u201cBicara Editor: Ayuh Menulis Majalah\u201d bersama-sama editor majalah Dewan Budaya yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini.\n\u201cHal ini dikatakan demikian kerana penulisan artikel untuk majalah sifatnya lebih mendalam, kritis dan memerlukan perbincangan yang terperinci tentang tajuk yang dikemukakan,\u201d tambah beliau.\nDalam sesi itu, beliau turut memperkenalkan ruangan dalam majalah Dewan Budaya yang terbit secara bercetak dan peluang menyumbang penulisan dalam portal JendelaDBP yang merupakan laman sesawang penulisan, serta sagu hati yang diterima penulis.\n\u201cMemang banyak sebab seseorang itu menulis, dan antaranya termasuklah ganjaran honorarium. Bagi saya itu tidak salah seandainya dapat meningkatkan motivasi menulis. Hasilnya tetap dapat dikongsi dengan lebih ramai pembaca dan memanfaatkan pembaca,\u201d tambah Muhammad Lutfi lagi sambil menjelaskan kadar honorarium penerbitan berita untuk JendelaDBP ialah RM50, manakala RM200 bagi rencana ,dan kadar lebih tinggi bagi penerbitan dalam bentuk bercetak.\nRuangan yang terbuka kepada para penulis untuk menyumbang makalah dalam majalah Dewan Budaya versi bercetak pula antaranya termasuklah Sekeliling Kita, Susur Budaya, Lensa, Layar, Tradisi dan Warisan. Mengulas tentang cabaran menembusi penerbitan makalah dalam majalah terbitan DBP, Muhammad Lutfi menyatakan bahawa menulis untuk majalah Dewan Budaya sebenarnya tidaklah sukar seperti yang disangka oleh kebanyakan penulis.\n\u201cMenulis untuk Dewan Budaya sebenarnya lebih santai dan cakupan kandungannya meliputi hampir segala aspek kehidupan. Jadi, jangan takut untuk cuba menulis dan menghantar karya kepada editor,\u201d ujar beliau.\nMenurut Dr. Siti Suriani Othman, pengasas dan Presiden UWP dalam ucapan alu-aluannya, program Bicara Editor yang merupakan program pertama UWP yang dijalankan secara fizikal pada tahun ini bukanlah bertujuan mengajar ahli UWP cara menulis secara terperinci, tetapi sebagai salah satu usaha pendedahan dari segi ruang yang ada, serta mendapat motivasi dan mengetahui peluang untuk menulis dalam majalah tersohor di negara ini.\nUWP merupakan pertubuhan yang mengumpulkan penulis dalam kalangan pensyarah, staf dan pelajar USIM yang ditubuhkan pada tahun 2017 dengan tujuan mendemokrasikan pengetahuan menerusi penulisan pelbagai genre dan mula menerima keahlian dari seluruh negara sejak tahun 2018.\nSetiap tahun, lebih 10 program penulisan dijalankan yang merangkumi genre penulisan akademik, penulisan kreatif dan pengkaryaan sastera, serta telah menerbitkan tiga buah buku antologi puisi, kisah hidup dan pantun dengan kerjasama Penerbit USIM. Mereka yang berminat menjadi ahli boleh menghubungi Dr Zalika Adam melalui e-mel [email\u00a0protected]." "Keretapi Sarong 2022 Kembali Memeriahkan Hari Malaysia 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bagi penduduk Lembah Klang, sambutan Hari Malaysia seakan-akan tidak sempurna tanpa penganjuran acara \u201cKeretapi Sarong\u201d yang semakin sinonim dengan perayaan pada tanggal 16 September setiap tahun. Keretapi Sarong adalah sebuah acara persembahan berkumpulan (flash mob) yang meraikan kepelbagaian kebudayaan Malaysia dan keharmonian tema budaya yang kontra senegara melalui penghargaan terhadap warisan, fesyen dan ibu kota Kuala Lumpur.\nSaban tahun, acara Keretapi Sarong semakin sinonim dengan Hari Malaysia. Apatah lagi setelah menyaksikan ribuan peserta turut serta memakai sarong di tengah-tengah kota Kuala Lumpur yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, umur, agama dan bangsa.\nPada penganjuran yang lepas, khususnya acara Keretapi Sarong 2019, terdapat lebih 4000 peserta daripada khalayak awam ikut menyertai memakai sarong dan menaiki tren menuju ke lokasi acara. Namun akibat pandemik COVID-19 yang melanda dunia selama hampir dua tahun, maka kejayaan acara Keretapi Sarong 2019 hanya dapat diteruskan dengan edisi tahun 2022.\n\nPada tahun ini, acara tersebut memfokuskan untuk memupuk penghargaan terhadap sentimen budaya negara yang kaya serta fesyen yang bertemakan sarong, pelbagai aktiviti kebudayaan akan dilangsungkan, di samping menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan masyarakat bandar.\nAcara Keretapi Sarong mula dianjurkan oleh komuniti Random Alphabet sejak tahun 2012, sebelum dikelolai secara rasmi oleh Local Companian (LOCCO), sebuah komuniti sosial dan budaya sejak tahun 2017. Acara tersebut diadakan pada saban tahun oleh LOCCO sebagai penganjur utama dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).\nOrganisasi yang turut bekerjasama dengan LOCCO pada tahun ini adalah Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), dengan barisan agensi di bawahnya seperti Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), PRASARANA Berhad, MRT Corporation (MRT), Express Rail Link (ERL) dan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB).\nTurut menyokong adalah rakan-rakan penganjur strategik, media dan seni seperti AirAsia, Teva, Belhams, Batik Boutique, Fakulti Filem, Teater & Animasi (FITA) UiTM, KL Sketch Nation, Street Meet Malaysia, ATMA (Kumpulan Teater UITM), Kumpulan Dikir Barat DBP, Anomalist Production, Mejabelakang dan BinMansor.\nLOCCO menyatakan harapan agar acara Keretapi Sarong ini akan terus kekal menjadi acara tetap komuniti pelbagai kaum di Malaysia sempena meraikan Hari Malaysia selain melestarikan budaya dan busana tradisional seperti sarong.\nMelalui kerjasama ini, MOT turut berharap semoga kolaborasi ini akan berterusan pada masa akan datang bagi menggalakkan dan memeriahkan acara Keretapi Sarong di samping orang awam yang bersarong dibawa mendekati perkhidmatan tren awam.\n\nAcara Keretapi Sarong 22 akan membawa kelainan pada tahun ini, dengan mengangkat tema \u201cRetro Kuala Lumpur\u201d dalam pemakaian bertemakan sarong seperti tahun-tahun sebelumnya. Bahkan, buat pertama kali acara Kereta Sarong akan berlangsung secara serentak di Ipoh apabila LOCCO turut bekerjasama dengan Kelab Sosial Ipoh menganjurkan acara #KeretapiSarongIpoh22.\nMenyambung tradisi acara namun dengan sedikit penambahbaikan pada tahun ini, acara Keretapi Sarong 22 akan bermula seawal pukul 8.30 pagi pada 16 September 2022 (Jumaat) di tujuh stesen berlainan dalam rangkaian tren awam RapidKL dan ERL. Setiap stesen mewakili satu kumpulan yang diketuai oleh rakan-rakan penganjur bersama yang akan membawa pelbagai pengisian menarik untuk kumpulan masing-masing.\nKemudian setiap kumpulan akan bergerak menuju ke lokasi akhir yang dirahsiakan. Sebuah acara khas Keretapi Sarong 2022 akan dianjurkan di lokasi rahsia tersebut dengan menampilkan persembahan dan pementasan daripada rakan-rakan penganjur bersama yang lain seperti dramatari daripada Anomalist, teater pendek daripada ATMA serta pengumuman pemenang pertandingan sempena Keretapi Sarong 2022.\nSenarai stesen permulaan bagi mereka yang berminat untuk turut serta dalam acara Keretapi Sarong pada 16 September ini adalah LRT Subang Jaya, LRT Gombak, LRT Ampang, MRT Bandar Utama, MRT Kajang, KL Sentral, ERL KLIA 2 dan ERL Putrajaya." "Masahoro Opu Raja Siti Menyerlahkan Keunikan Negeri Selangor\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Pementasan teater Masahoro Opu Raja Siti (MORS) di Pentas Terbuka, Taman Tasik Shah Alam pada 10 dan 11 September 2022 yang lalu merupakan prekuel bagi kisah tersebut yang dipentaskan pada beberapa tahun lalu.\nNamun begitu, matlamatnya tetap sama, iaitu mengangkat dan menyerlahkan keunikan negeri Selangor menerusi sejarah istimewa Opu Raja Siti (Yang Dipertua Negeri Selangor), Raja Siti dan para pemerintah negeri Selangor pada zaman dahulu dalam pementasan teater terbuka dengan suntikan unsur bangsawan. MORS diarahkan oleh Sharul Nizam Samsuddin atau Sharul Titis yang juga merupakan penulis skripnya.\nMORS membawa kisah sejarah negeri Selangor mengenai Opu Raja Siti, iaitu wanita pertama yang menjadi Yang Dipertuan Negeri Selangor pada sekitar tahun 1723 menerusi kesepakatan raja ataupun daeng bagi keturunan Bugis.\nPelantikan Opu Raja Siti dilaksanakan selepas kemangkatan kekandanya, Arong Pasarai, iaitu Yang Dipertuan Negeri Selangor yang pertama. Walau bagaimanapun, pelantikan beliau ditentang hebat oleh Daeng Matteko kerana dendam dan kuasa.\nMORS anjuran Majlis Teater Negeri Selangor (MTS) menambah pengetahuan masyarakat tentang latar belakang sejarah negeri Selangor, menggalakkan penyelidikan sejarah daripada institusi pendidikan tinggi serta mempromosikan pelbagai tempat pelancongan di Shah Alam, Selangor.\nDari aspek lakonan, Sifu Najib berjaya membawa watak Daeng Matteko dengan berkesan walaupun sentiasa ketawa selepas bertutur yang dianggap klise bagi watak antagonis, namun gerak tubuh dan mimik wajahnya amat meyakinkan.\nLakonan Amirah Razak sebagai Opu Raja Siti juga mendapat sambutan hangat para penonton. Beliau beraksi agak cemerlang dalam babak silat dengan Marani (Dayang Norinah), dan Daeng Matteko meskipun mengakui gentar pada peringkat awal untuk melakukan aksi lasak sedemikian. Manakala pelakon veteran yang sinonim dengan watak antagonis, iaitu Shah Farid Zain tiada sebarang kesukaran menjayakan peranan protagonis, iaitu Guntang, pembantu kepada Opu Raja Siti.\nKesimpulannya, teater MORS bermanfaat untuk menyemarakkan industri seni teater menerusi pementasan terbuka yang mampu memperkasakan warisan budaya negeri Selangor serta memberi peluang dengan membuka platform kepada penggiat seni teater dan pertubuhan bukan kerajaan seni budaya negeri untuk menyumbang kepada negeri dalam kegiatan kesenian dan kebudayaan.\nDi samping itu, pementasan teater turut menyumbang dalam mengimbangi kepesatan Revolusi Industri 4.0 setara dengan pembangunan seni persembahan melalui program-program pementasan teater yang menggunakan unsur pementasan bangsawan serta pengaplikasian teknologi dan latar alam semula jadi dalam kerja-kerja pementasan.\nBahkan, program kebudayaan seperti ini mampu mengetengahkan karya-karya seni pementasan teater yang berpotensi memberi nilai tambah kepada pengetahuan masyarakat, kesedaran nilai sejarah dan menggalakkan pengembangan pengetahuan dan penyelidikan dalam bidang kesenian dan kebudayaan.\nPementasan MORs bermula pukul 9 malam dengan bayaran RM20. Pementasan teater ini disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Selangor serta Band Kelab KILAT TNB (pengarah muzik) sebagai rakan strategik dengan dijayakan oleh 32 orang tenaga produksi, 42 orang pelakon dan penari serta lapan orang pemuzik.\nAntara pelakon lain yang turut terlibat ialah Rahim Kedol sebagai Toba, Idan Shahril (Kendi), Anwar Rudini (Tunggal), Taha Muhammad (Daeng Masuro), Azmie Daim (peniaga), Jamaludin (Daeng Monompok), Hazley (Daeng Parani) dan Fateh (Daeng Lakani)." "Laman Warisan Kampung Laut Tarikan Terbaharu di Kelantan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTumpat \u2013 Laman Warisan Kampung Laut yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini merupakan destinasi pelancongan warisan terbaharu di Kelantan yang berpotensi tinggi dan menjanjikan masa depan yang cerah.\nDaya penarik yang terpenting di situ adalah Masjid Kampung Laut yang merupakan antara masjid kayu yang tertua di Asia Tenggara dengan berusia lebih daripada 300 tahun.\nSejarah Masjid Kampung Laut banyak berkait rapat dengan penyebaran agama Islam dan dakwah di rantau ini pada abad ke-18 selain menjadi simbol kegemilangan syiar Islam di negeri Kelantan.\nKeunikan Masjid Kampung Laut terletak pada keseluruhan binaan yang dibuat daripada kayu cengal dan tanpa menggunakan sebarang paku, selain kehalusan ukirannya yang menjadi tarikan utama pelancong.\nKerajaan Persekutuan menyokong penuh usaha untuk mendapatkan pengiktirafan Masjid Kampung Laut sebagai Monumen Warisan Kebangsaan dan Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Kesannya pasti dapat memelihara dan melonjakkan taraf profil warisan sejarah dan budaya negeri Kelantan.\nMajlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) melalui Projek Pembangunan Semula Kampung Laut berjaya memindahkan Masjid Kampung Laut yang merupakan antara masjid kayu tertua di Asia Tenggara ke tapak asalnya di Kampung Laut.\nMasjid ini mempunyai nilai sejarah yang cukup tinggi selain berkaitan dengan penyebaran Islam dan dakwah, sekali gus kewujudannya membuktikan ketamadunan Melayu Islam dalam seni bina dan tradisi Melayu.\nMenurut cerita lisan, para mubaligh Islam belayar di sepanjang kepulauan Melayu untuk menyebarkan agama Islam. Pada tahun 1930-an, sekumpulan mubaligh Islam melalui Pantai Timur Semenanjung Malaysia sewaktu dalam perjalanan menuju ke Pattani. Walau bagaimanapun, perahu mereka bocor dan mengalami kesulitan.\nPara mubaligh Islam dalam perahu itu bersumpah bahawa jika mereka dibawa ke pantai dengan selamat, mereka akan membina sebuah masjid dan serta merta doa mereka dikabulkan dan para mubaligh Islam tersebut mendarat di Kampung Laut.\nAda pendapat yang mengatakan masjid tersebut dibina oleh Wali Songo sewaktu dalam perjalanan dari Pulau Jawa ke Champa. Ada pula yang mendakwa masjid tersebut dibina oleh pendakwah Islam yang tiba dari kerajaan Demak yang memerintah Jawa pada masa itu.\nReka bentuknya menyamai Masjid Agung Demak di Jawa Tengah, Masjid Kono di Champa, Masjid Nad Tanjung dan Masjid Wadi Hussein di Thailand.\nMasjid yang asal bukan seperti yang dapat dilihat pada hari ini. Sebaliknya masjid tersebut merupakan sebuah struktur asas dengan hanya empat tiang yang menyangga bumbung tiga tingkat yang diperbuat daripada daun rumbia dengan keluasan 400 kaki persegi pada keseluruhannya.\nPada akhir abad ke-19, masjid ini menjadi pusat agama Islam yang penting dan diperbesarkan merangkumi bilik sembahyang tambahan, serambi dan menara dengan 20 batang tiang dibina untuk menyangga binaan tambahan itu.\nBinaan tambahan itu menggunakan teknik \u201cTebuk Pasak\u201d yang amat unik, dibina daripada kayu dan tidak menggunakan walau sebatang paku sekali pun. Atap daun rumbia pula diganti dengan atap genting.\nAkibat kawasan tapak asal masjid di tebing sungai sering dilanda banjir termasuklah banjir besar pada tahun 1926 dan tahun 1966, maka Persatuan Sejarah Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan mencadangkan pemindahan masjid itu ke tempat yang lebih selamat.\nPada tahun 1968, masjid itu dipindahkan dan dibuka kembali di kawasan yang baharu, iaitu di Nilam Puri kira-kira 20 kilometer dari tapak asal dan dibina dengan bantuan para tukang kraf tangan Melayu Kelantan.\nSetelah lebih 50 tahun, akhirnya hasrat rakyat Kelantan untuk membawa pulang Masjid Kampung Laut ke tapak asalnya menjadi kenyataan ibarat \u201csirih pulang ke gagang\u201d.\nMenurut YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada Majlis Perasmian Laman Warisan Kampung Laut di Laman Warisan Kampung Laut, Tumpat baru-baru ini, beliau berharap Masjid Kampung Laut mendapat pengiktirafan sebagai Monumen Warisan Kebangsaan dan Tapak Warisan Dunia oleh UNSECO.\nKerajaan Persekutuan telah membelanjakan sebanyak RM40 juta untuk Projek Pembangunan Semula Kampung Laut yang terdiri daripada Masjid Kampung Laut, Laman Warisan Seni dan Laman Warisan Serunding.\nLaman Warisan Kampung Laut kini menjadi satu destinasi wajib singgah oleh para pengunjung di Kelantan khususnya di Kota Bharu.\nNegeri Kelantan kaya dengan hasil kesenian dan kraf tangan yang diwarisi sejak turun temurun. Laman Warisan Seni yang dibangunkan akan memelihara dan mempromosikan warisan seni budaya rakyat Kelantan.\nLaman ini juga memberi peluang kepada karyawan-karyawan seni tempatan untuk memasarkan hasil seni seperti batik, wau dan barangan kraf tangan kepada para pengunjung di samping terus mengekalkan budaya seni dan kraftangan Melayu dalam kalangan generasi muda.\nSerunding Kampung Laut juga terkenal di seluruh Malaysia dan merupakan juadah yang mesti dibeli oleh para pelancong apabila berkunjung ke Kelantan.\nDengan adanya Laman Warisan Serunding, para pengusaha kini beroperasi di sebuah kompleks yang lebih kondusif dan menarik yang akan meningkatkan lagi tarikan dan jualan hasil-hasil pengusaha. Selain serunding, dodol, gelembung buaya, keropok, kerepek dan agar-agar kering turut dijual.\nSeiring dengan kepentingan sektor pelancongan pada era kini, maka kewujudan Laman Warisan Kampung Laut harus diberi perhatian serius oleh semua pihak. Pembangunan semula tapak warisan ini diyakini akan memberi manfaat yang cukup besar untuk pembangunan sosioekonomi rakyat." "Usah Mengesampingkan Dialek\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2212 Terdapat pelbagai dialek di Malaysia dan setiap negeri mempunyai dialek masing-masing. Begitu halnya dengan Pulau Pinang yang turut mempunyai versi dialeknya yang tersendiri, yang disebut sebagai dialek Pulau Pinang.\nDialek Pulau Pinang cukup menarik kerana pada awal tahun 1960-an dan tahun 1970-an, masyarakat Malaysia telah didedahkan kepada beberapa buah filem yang mengguna pakai dialek tersebut. Contohnya, dalam filem lakonan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee seperti Anakku Sazali. Contoh panggilan nama yang menggunakan dialek Pulau Pinang dalam filem itu termasuklah seperti \u201cCombi\u201c, \u201cMami\u201c dan \u201cMamu\u201c. Kemudian, pada awal tahun 1990-an, Profesor Dato\u2019 Dr. A. Razak Mohaideen juga mempopularkan filem arahannya yang menggunakan dialek Pulau Pinang seperti filem Anak Mami.\nKepelbagaian dialek di setiap negeri merupakan keunikan yang terdapat di negara ini tetapi kita perlu merangkumkannya dengan penggunaan bahasa Melayu yang standard, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.\n\u201cDengan kemasukan pelbagai bahasa dan budaya di negara ini, janganlah pula kita mengesampingkan budaya bangsa kita khususnya dialek Pulau Pinang ataupun dialek negeri-negeri lain di negara ini kerana itulah jati diri dan identiti negara kita.\u201c\nDemikianlah antara penerangan menarik oleh YBhg. Dato\u2019 Haji Anuar Ahmad, iaitu Ketua Satu, Persatuan Penulis Pulau Pinang, dalam Rancangan Dialek Kita: Jom Kenali Dialek Pulau Pinang, yang bersiaran secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 10.00 pagi tadi." "Teater Narapidana Papar Sisi Gelap Kem Tahanan dan Sistem Perundangan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Narapidana atau banduan adalah mereka yang terperangkap. Konteks terperangkap ini boleh dipakai oleh semua pihak sama ada baik atau buruk, bahagia atau murung, besar atau kecil. Melalui drama Narapidana karya Haire Che Ros, para banduannya turut dikalung rantai perangkap. Namun mereka berasa tidak sepatutnya berada dalam penjara itu.\nPersoalan yang dicipta daripada karya Haire itu tidak menyangkal kewujudan akta-akta dan sistem korup yang boleh meletakkan unsur ambiguiti pada stigma banduan itu sendiri, malah menguatkan lagi dinding realiti akan implikasi sistem ciptaan manusia. Melalui warga kem tahanan Kem Luak Berundang (kem tahanan fiksyen rekaan pengarang), unsur-unsur takdir, nasib, kewarasan, sejarah, setia dan pengkhianatan dalam kem-kem tahanan yang serupa disampaikan pementasan teater Narapidana.\nDengan Adiit Seketika sebagai pengarah, Narapidana akan dipentaskan pertama kalinya di Damansara Performing Arts Centre (DPAC) pada 16 hingga 18 September ini. Himedia merupakan produksi utama dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) sebagai penganjur pementasan teater ini. Naskhah ini juga tercipta hasil inspirasi daripada kes-kes banduan yang didokumentasikan SUARAM.\nMenurut Azura Nasron daripada SUARAM, pementasan teater ini menguatkan lagi sentimen solidariti yang memerlukan perjuangan SUARAM dan kita untuk bersama-sama menuntut keadilan buat golongan yang memerlukan.\nSUARAM turut terlibat dengan kes-kes banduan yang mempunyai konflik dalam tahanan, sama ada melalui penerimaan surat-surat atau pendokumentasian kes-kes mahkamah. Namun adaptasi teater Narapidana berjaya menimbulkan sentimen baharu yang lebih realistik.\nPada tahun 2013, SUARAM pernah mementaskan teater dengan isu yang sama. Pementasan teater pada tahun 2022 ini turut berdiri sebagai satu kenyataan, walaupun setelah hampir satu dekad, isu yang sama masih tidak bungkam. Realiti tersebut akan dipaparkan dalam pementasan teater Narapidana pada malam Hari Malaysia tahun ini.\n\u201cBerdasarkan skrip, pada awalnya saya berasa karya ini agak sukar untuk dipersembahkan sebagai pementasan teater kerana wataknya yang kompleks dan visualnya memerlukan penelitian yang tinggi, terutamanya untuk memastikan mesej teater tersebut sampai kepada masyarakat. Justeru, langkah yang lebih proaktif dan lebih teliti dilaksanakan dalam mengarah babak-babak lakonan mengikut dinamik watak-watak yang terdapat dalam karya,\u201d ujar Adiit Seketika, Pengarah teater Narapidana.\nDinamik gandingan antara beberapa watak secara esennya menguatkan lagi cerita dan mengukuhkan garisan naratif yang akhirnya dapat berdiri sebagai satu naskhah yang lengkap.\n\u201cAidit Seketika sebagai pengarah teater sememangnya berjaya merealisasikan skrip drama saya menjadi kenyataan. Saya mengambil kes-kes sebenar sebagai inspirasi cerita untuk memberi kesedaran kepada penonton di samping memaparkan sisi gelap dalam penjara dan sistem undang-undang,\u201d ujar Haire Che Ros.\nTeater Narapidana menampilkan Sis Aini, Fazleena Hishamuddin, Aidil Rosli, Aizuddin Rosli, Ozzy Nurin, Izhar Azree, Nicole Jay dan Deeka sebagai pelakon peneraju.\nSecara umumnya, teater Narapidana dipersembahkan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan isu-isu yang berlaku dalam kem tahanan. Teater ini akan dipentaskan di Damansara Performing Arts Centre pada 16 hingga 18 September ini." "[email\u00a0protected] Simbolik Pasar Malam Kebudayaan Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNilai \u2013 Pasar malam merupakan antara budaya masyarakat Malaysia yang unik dan amat dikenali dalam kalangan rakyat Malaysia. [email\u00a0protected] yang dilabel sebagai pasar malam kebudayaan simbolik Malaysia berpotensi menjadi satu daripada destinasi dalam zon pembangunan pelancongan baharu di negara ini di samping mampu menarik lebih ramai pelancong sama ada dari dalam atau luar negara.\nDengan keluasan 25 ekar, [email\u00a0protected] yang menghimpunkan pelbagai barangan tempatan termasuklah makanan, kraf tangan dan budaya dari 13 buah negeri di Malaysia dilihat mampu menjadi setaraf dengan pasar malam terkemuka di negara-negara lain seperti Chatuchak Market di Thailand, Pasar Malam Shilin di Taiwan dan Pasar Myeongdong di Korea. Di samping itu, lebih daripada 100 aktiviti kebudayaan dari seluruh negara juga akan dianjurkan dari semasa ke semasa.\n[email\u00a0protected] menerapkan elemen adat dan budaya Malaysia ke platform pasar malam moden dengan menghimpunkan 850 buah gerai yang menawarkan pelbagai barangan tempatan dari seluruh negara. Selain itu, segala urusan perniagaan di [email\u00a0protected] akan dijalankan dengan kaedah transaksi tanpa tunai dan waktu perniagaannya bermula pada pukul 5 petang hingga lewat malam setiap hari.\nMenteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), YB Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada pihak [email\u00a0protected] yang menjadi pasar malam pertama beroperasi secara transaksi dalam talian tanpa tunai.\nBeliau juga berharap agar para penggiat industri turut mengambil bahagian dalam Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) Versi Baharu yang merupakan program pengiktirafan terhadap produk-produk pelancongan. Inisiatif ini juga akan menjadi motivasi kepada para penggiat industri untuk menaik taraf kualiti kemudahan produk pelancongan yang ditawarkan agar kualiti produk dan mutu perkhidmatan pelancongan dapat dipertingkatkan.\nTunku Besar Tampin merangkap Pengerusi [email\u00a0protected], Yang Teramat Mulia Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri, Menteri MOTAC, YB Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Tan Sri Noh Omar bersama-sama merasmikan Majlis Pra Perasmian [email\u00a0protected] yang berlangsung dengan penuh meriah. Majlis perasmian tersebut turut boleh ditonton secara langsung di laman Facebook Gembox.\nKeluarga Malaysia yang ingin menikmati pelbagai sajian menarik dari seluruh negara bolehlah berkunjung ke [email\u00a0protected] yang mula beroperasi secara rasmi pada 13 September yang lalu." "\u201cAsia Art Show 2022\u201d Pamer 100 Karya Pelukis Tempatan dan Antarabangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 100 orang orang artis pelukis termasuklah pelukis dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) mempamerkan karya masing-masing bersempena dengan Asia Art Show 2022. Menurut Pengasas Asia Art Show 2022, Hazrita Mohd Hatta, pameran ini dianjurkan untuk meningkatkan keupayaan membeli seni catan dan karya kreatif dalam kalangan rakyat Malaysia.\n\u201cAsia Art Show 2022 adalah penambahbaikan pada program yang terdahulu, iaitu Art Market Malaysia. Dengan penambahbaikan dari segi strategi jualan dan konsep, Asia Art Show 2022 dapat membuka peluang kepada semua artis dan jenis atau kategori seni catan, karya kreatif serta seni tampak dipasarkan bukan sahaja untuk pasaran tempatan, bahkan untuk pasaran antarabangsa.\nSelain itu, minat atau potensi membeli seni catan dan karya kreatif dalam kalangan rakyat tempatan masih rendah, begitu juga sokongan daripada sektor korporat. Hal ini boleh dilihat dari sudut kekurangan penajaan untuk program seni catan dan karya kreatif berbanding program hiburan lain serta elemen seni yang lain,\u201d jelas Hazrita.\nMenurut Hazrita lagi, 20 lukisan karya pelukis tersohor tanah air seperti Yusof Gajah, Master Roong Huah, Nazli Hamzah, Amy Hashim dan Zunar dipamerkan dalam pameran berkenaan.\n\u201cPenganjuran Asia Art Show 2022 ini adalah pelantar terbaik bagi para pelukis generasi baharu untuk berkongsi karya masing-masing bagi meneroka potensi dalam pelbagai aspek, khususnya mengadakan pameran dan menjual karya mereka di luar negara.\nSaya ingin melihat mereka pergi lebih jauh dan dapat memasuki pasaran kesenian Eropah yang lebih terbuka dan menghargai karya seni catan dan karya kreatif, khususnya dari negara Asia seperti Malaysia,\u201d tegas Hazrita lagi.\nAsia Art Show 2022 mengumpulkan lebih daripada 100 pelukis pelbagai genre dengan tidak menetapkan sebarang tema bagi karya seni yang dipamerkan. Pameran ini berlangsung di Royale Chulan, Kuala Lumpur bermula dari 17 hingga 18 September ini. Selain artis pelukis tempatan, pelukis dari Indonesia, India, Pakistan, Iran dan Filipina turut menyertai pameran tersebut.\nBagi pameran yang julung-julung kali diadakan ini, Tokoh Pelukis Negara, Ismail Embong turut mempamerkan karya agungnya daripada koleksi \u201cBusana\u201d dan beberapa koleksi daripada anaknya, seorang artis terkenal tanah air, iaitu Emma Maembong.\nMajlis Perasmian dan Makan Malam Amal Asia Art Show 2022 telah berlangsung pada 26 Ogos 2022 di Park Royal Collection, Kuala Lumpur. Asia Art Show 2022 menawarkan pelbagai aktiviti seperti program SENI yang boleh disertai oleh para pengunjung merangkumi aktiviti cabutan bertuah, kuiz seni dan demo lukisan daripada adik-adik OKU. Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Asia Art Show 2022 boleh melayari Facebook dan Instagram, Asia Art Show 2022 atau Whatsapp dan Hotline 016-3980938 untuk keterangan lanjut." "YB Datuk Zahidi Zainul Abidin Melancarkan Buku Teater Syair Setanggi Ratna Inderapura\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bersempena dengan pementasan teater syair Setanggi Ratna Inderapura, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Sastera telah mengusahakan penerbitan skrip teater syair yang ditulis oleh Syahidatul Munirah Badrul Munir.\nBuku yang memuatkan skrip teater dan rangkap syair ini telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Yang Berhormat (YB) Datuk Zahidi Zainul Abidin pada 17 September 2022, iaitu sebelum berlangsungnya persembahan teater tersebut. Dalam ucapannya, YB Datuk Zahidi menzahirkan rasa bangga kerana buat julung kalinya, naskhah berbentuk skrip teater dan syair digabungkan dan didokumentasikan dalam bentuk buku sebagai usaha untuk melestarikan teater dan syair.\n\u201cUsaha yang baik ini diterajui oleh Bahagian Buku Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka. Syabas Dewan Bahasa dan Pustaka kerana sentiasa berusaha menjadi pengemudi dalam melestarikan khazanah negara, khususnya dalam hal berkaitan dengan persuratan dan kesusasteraan Melayu,\u201d demikian ucapan YB Datuk Zahidi yang turut berterima kasih kepada DBP atas kerjasama menjayakan pementasan teater syair.\nSempena pelancaran buku itu juga, DBP mengadakan jualan buku, termasuklah buku yang dilancarkan dengan diskaun 25 peratus. YB Datuk Zahidi turut mengunjungi meja jualan buku DBP dan membeli naskhah Teater Syair Setanggi Ratna Inderapura, termasuk beberapa buku lain terbitan DBP.\nDalam sidang media setelah tamat persembahan teater syair, YB Datuk Zahidi menyatakan kementeriannya akan membawa teater syair Setanggi Ratna Inderapura ke layar filem. \u201cDengan adanya buku yang kita lancarkan malam ini, usaha mengangkatnya menjadi filem akan lebih mudah. Saya juga melihat kisah kehebatan serikandi Sultanah Pahang, Raja Ungu menentang Siam seperti yang ditonjolkan dalam teater ini cukup menarik. Selain itu, teater ini juga mengetengahkan syair dan nazam, suatu khazanah seni budaya yang seharusnya dilestarikan, malah perlu diperkenalkan ke peringkat antarabangsa. Oleh sebab itu, saya akan mengikhtiarkan agar teater ini difilemkan. Malah saya akan ke Thailand dan cuba berbincang dengan pihak produksi di sana tentang kerjasama pembikinan filem yang menonjolkan seni dan budaya, selain sejarah negara kita yang berkaitan dengan hubungan Tanah Melayu dan Siam suatu ketika dahulu,\u201d demikian kata YB Datuk Zahidi tentang hasratnya mengangkat teater Setanggi Ratna Inderapura sebagai filem.\nSelaku penulis buku, Syahidatul Munirah menyatakan skrip teater syair yang dikarangnya adalah berdasarkan inspirasi daripada Hikayat Patani. Memetik tulisannya dalam Facebook, \u201cSaya mengulit Hikayat Patani dari kulit ke kulit kerana Hikayat Patani merupakan kajian disertasi Sarjana saya. Saya terfikir, kisah Raja-Raja Perempuan Patani yang terdapat dalam Hikayat Patani perlu dibawa ke pentas. Sejarah yang terkandung dalam Hikayat Patani perlu ditampilkan secara visual, bukan sekadar dalam kertas kajian atau tulisan, supaya semangat juangnya dapat dirasai oleh generasi kini.\u201d\nSyahidatul turut gembira kerana apa yang diusahakan itu, kini didokumenkan dalam bentuk buku. Daripada buku tersebut, penggiat teater atau peminat syair malah pencinta seni dan budaya tradisional tanah air dapat merujuk bentuk penulisan skrip teater dan penulisan bait syair yang semuanya dikarang sendiri oleh Syahidatul.\nSerentak dengan pelancaran buku, YB Datuk Zahidi turut merasmikan persembahan teater syair Setanggi Ratna Inderapura yang dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur. Turut berada di pentas dalam pelancaran gimik buku Teater Syair Setanggi Ratna Inderapura ialah Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa UUM, Profesor Madya Dr. Hishamudin Isam, Pengerusi Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Muallim, Encik Mohd. Aqi Mohd. Azmi, Ketua Editor Bahagian Buku Sastera, Puan Nurul Julia Alani Henry dan Puan Syahidatul Munirah Badrul Munir selaku penulis buku dan pengarah teater." "Naskhah Teater Syair Setanggi Ratna Inderapura Bakal Diangkat sebagai Filem\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Teater Syair Setanggi Ratna Inderapura, sebuah naskhah yang diinspirasikan daripada Hikayat Patani telah dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur pada 17 September 2022. Persembahan yang julung kalinya menggabungkan teater dan syair di satu pentas yang sama ternyata mendapat sambutan daripada peminat naskhah sastera tradisional.\nBerlatarkan sejarah kesultanan Pahang, gabungan teater dan syair Setanggi Ratna Inderapura menonjolkan kehandalan Raja Ungu, iaitu Raja Perempuan Patani ketiga sebagai serikandi perang. Sebelum pulang ke Patani memegang takhta kerajaan, serikandi perkasa itu merupakan Sultanah Kerajaan Pahang, isteri kepada Sultan Abdul Ghafur yang dimasyhurkan sebagai Paduka Seri Sultanah Alam Syah.\nNaskhah yang memaparkan epik peperangan Kesultanan Pahang menentang Siam ini memperlihatkan kehebatan Raja Ungu menewaskan Apya Deca (Ayuthaya-Siam). Sebelum itu, Apya Deca telah berjaya membunuh Sultan Abdul Ghafur. Kemudiannya, Raja Kuning, iaitu puteri tunggal Raja Ungu dan Sultan Abdul Ghafur dicagarkan kepada Apya Deca oleh kekandanya Raja Biru supaya Patani tidak diserang.\nSelain menunjukkan bangsa Melayu yang biasanya bersenjatakan keris, tombak dan lembing, teater syair ini juga memaparkan Raja Ungu berjaya menumpaskan Apya Deca dengan hanya membelit lehernya bersenjatakan kain cindai yang menyebabkan Apya Deca muntah darah dan meninggal dunia. Yang menariknya, persembahan teater syair ini disulami dengan dendangan syair dan nazam, lantas menjadikannya sebagai teater muzikal pertama yang dipersembahkan kepada khalayak.\nTimbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Yang Berhormat (YB) Datuk Zahidi Zainul Abidin dan isteri hadir dan turut sama menonton teater ini. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa bangga dengan usaha pementasan teater ini. \u201cBagi saya, kalian bukan sekadar membuat persembahan, tetapi sedang berjuang dan berperang dengan takdir modenisasi untuk terus menjulang martabat bangsa. Dalam lemas dan tenat dunia kini yang digasak dengan rencam arus teknologi sehingga ada yang hilang jati diri, kalianlah pejuang insan yang meminjamkan diri dan kudrat kepada negara, tanpa lelah berusaha, kalian mengangkat semula khazanah bangsa supaya segalanya tidak hilang,\u201d demikian ucapan YB Datuk Zahidi yang ditujukan khusus kepada produksi yang mengusahakan persembahan teater syair Setanggi Ratna Inderapura.\nDalam sidang media yang berlangsung setelah berakhirnya persembahan teater, YB Datuk Zahidi memberitahu pihak kementeriannya akan menjadikan kisah Setanggi Ratna Inderapura sebagai filem yang berupaya menembusi pasaran filem antarabangsa. \u201cRamai yang perlu tahu mengenai kisah Raja Ungu ini kerana memaparkan banyak nilai seni dan budaya yang sangat bermakna. Malah cerita ini bukan sahaja menonjolkan sejarah Melayu tetapi elemen seperti syair dan nazam Melayu juga harus ditonjolkan kepada generasi muda,\u201d demikian kata YB Datuk Zahidi.\nTambah beliau, \u201cKisah sejarah Sultanah Alam Shah atau lebih dikenali sebagai Raja Ungu, serikandi Melayu yang terkenal dengan kepandaian berpencak dan bermain senjata, dan mengetuai angkatan perang dapat dijadikan pengajaran khusus buat generasi muda pada masa ini.\u201d\nBerkenaan hasrat menjadikan kisah Setanggi Ratna Inderapura sebagai filem, YB Datuk Zahidi memberitahu beliau akan ke Thailand dalam masa terdekat untuk mengadakan kolaborasi strategik antara produksi filem tempatan bersama-sama produksi filem Thailand bagi tujuan berkenaan. \u201cMinggu depan saya akan ke Thailand kerana kita mahu membawa kisah Setanggi Ratna Inderapura ini menembusi pasaran antarabangsa. Saya juga akan berusaha mencari produksi filem di sana untuk bekerjasama dalam mengeluarkan filem ini,\u201d katanya kepada media.\nPementasan Setanggi Ratna Inderapura dijayakan dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Muallim, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM), Persatuan Bitara Syair Melayu Nusantara, Anjung Seni Nilakandi dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa UUM, Profesor Madya Dr. Hishamudin Isam dan Pengerusi Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Muallim, Encik Mohd. Aqi Mohd Azmi turut hadir menyaksikan pementasan teater syair. Penulisan skrip dan pengarahan teater ini digarap oleh Syahidatul Munirah Badrul Munir, penggiat teater dan pendendang syair yang kini bertugas sebagai tenaga pengajar di UUM." "Persepsi Masyarakat Terhadap Pendidikan Muzik Era 1980-an\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMalaysia merupakan negara di Asia Tenggara yang memiliki populasi penduduk berbilang etnik yang menganut pelbagai agama. Islam adalah agama rasmi negara, namun masyarakat bebas menganut agama pilihan masing-masing. Prinsip Islam dijadikan sebagai tunjang yang mempengaruhi aspek kehidupan masyarakat dari segi ekonomi, politik dan sosial.\nKepelbagaian etnik di Malaysia mempengaruhi kewujudan jenis muzik yang boleh dibahagikan kepada empat kategori, iaitu etnik, tradisional, pop Malaysia dan Barat serta klasikal Barat. Muzik memainkan peranan penting dalam masyarakat pendukungnya. Hal ini dikatakan demikian kerana muzik berfungsi dalam kehidupan masyarakat yang mempunyai kaitan dengan soal ekonomi, politik, agama dan sosial. Namun demikian, apa-apa yang sering diperkatakan perihal fungsi muzik adalah berkaitan dengan fenomena sosial.\nKonsep fungsi muzik berkembang dan digunakan oleh sebilangan besar para sosiologi. Antara tokoh sosiologi yang menggunakan konsep ini seperti A. R. Radcliffe Brown, Bronislaw Malinowski, Emile Durkhiem, Herbert Spencer dan Ralph Linton. Dalam mengkaji fungsi muzik, dua konsep boleh digunakan, iaitu \u201clatent\u201d dan \u201cmanifest\u201d. Fungsi muzik yang berbentuk \u201clatent\u201d adalah tersembunyi dan memerlukan penyelidikan mendalam sebelum memahaminya. Bagi konsep \u201cmanifest\u201d, fungsi muzik dikaji secara lahiriah dan dapat dilihat dengan jelas serta mudah difahami.\nPenganalisaan fungsi muzik dibuat setelah pengetahuan perihal perhubungan muzik dengan masyarakat difahami dengan jelas. Sekiranya kurang pengetahuan tentang fungsi ini, maka penganalisaan mungkin tidak mencapai objektif yang sebenar. Pengetahuan berkaitan dengan fungsi muzik boleh difokuskan tentang kegunaannya. Bagi memahami tentang kegunaan muzik dalam kalangan masyarakat, pemerhatian dilakukan terhadap fenomena sosial yang tertentu secara langsung. Pemahaman cara ini dilihat sebagai memahami konsep muzik yang berfungsi kepada masyarakat menurut konsep \u201cmanifest\u201d. Seterusnya pemerhatian dilakukan dengan mencari fungsi muzik yang tersembunyi berdasarkan konsep \u201clatent\u201d.\nPada era 1800-an, muzik di sekolah Inggeris di Tanah Melayu ditawarkan kepada pelajar sebagai subjek kokurikulum dan tidak termasuk dalam kurikulum formal. Aktiviti muzik di sekolah termasuklah nyanyian kumpulan atau koir, brasben dan sebutan korus (persembahan puisi Inggeris secara berkumpulan). Nyanyian lagu rakyat Inggeris (folksongs) dan lagu kanak-kanak turut dimasukkan sebagai pendekatan dalam pembelajaran subjek bahasa Inggeris. Setiap sekolah sekurang-kurangnya memiliki seorang guru yang berbakat memainkan alat muzik piano dan memiliki latar belakang dalam bidang muzik klasik Barat.\nKelas muzik pernah disiarkan melalui saluran Radio Malaysia pada era 1950-an. Pelajar sekolah berkumpul di dalam dewan sekolah untuk mengikuti kelas muzik dalam Radio Malaysia. Walau bagaimanapun, hanya pelajar di bandar sahaja berpeluang menerima faedah tersebut. Kumpulan muzik juga ditubuhkan di sekolah berasrama. Mereka diajar membaca notasi muzik Barat sebagai persediaan dan keperluan sewaktu bermain alat muzik. Sebelum subjek Muzik diperkenalkan di sekolah, pelajar Melayu terlibat dalam aktiviti popular, iaitu nyanyian keagamaan atau nasyid.\nPada tahun 1979, pihak kerajaan mengeluarkan arahan supaya muzik dijadikan sebagai mata pelajaran wajib di sekolah rendah. Keputusan tersebut disebabkan keperluan untuk menyediakan pendidikan yang lebih seimbang. Selain itu, kerajaan juga mengambil langkah untuk memberi kesedaran tentang kepentingan subjek Seni dalam kurikulum sekolah. Seramai 3000 guru daripada pelbagai bidang mengikuti kelas muzik intensif yang diadakan di beberapa institusi pendidikan guru pada cuti hari persekolahan.\nKelas muzik di sekolah pada masa itu bergantung pada ketersediaan guru muzik. Pendidikan muzik di sekolah kaum India berada dalam keadaan tidak memuaskan dan hanya wujud selepas Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) diperkenalkan pada tahun 1983 berbanding sekolah kaum Cina yang aktiviti koir, permainan ensembel dan brasben sudah lama wujud. Pelajar sekolah Cina turut diajar dengan sistem notasi yang dinamakan Jianpu serta diperkenalkan dengan genre muzik baharu, iaitu kugiran dan angklung.\nPada era 1970-an dan 1980-an, banyak lagu yang digubah oleh komposer British masih disiarkan dalam pelbagai acara tertentu. Menurut sebilangan masyarakat, kebanyakan lagu tersebut tidak memenuhi cita rasa atau ciri-ciri muzik dan budaya tempatan. Bagi masyarakat beragama Islam, punca utama disebabkan oleh pandangan mereka yang melihat muzik mengkhayalkan sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Muzik menurut perspektif sesetengah ulama, cenderung membawa kepada aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang seperti minum arak dan zina.\nPada tahun 1980-an, sering kali kedengaran mengenai kontroversi muzik dalam Islam. Berdasarkan sejarah, kontroversi mengenai muzik bermula seawal abad ke-3 atau abad ke-9 lagi. Sejak itu, muzik secara berterusan mengundang kontroversi dalam kalangan masyarakat, terutamanya penganut yang beragama Islam. Ketidaksefahaman yang berlaku dalam kalangan ahli fiqah dan ketua agama Islam adalah berkaitan dengan kedudukan muzik dalam Islam. Dalam situasi tertentu, hukum mengenai muzik menjadi harus, makruh atau haram hasil interpretasi daripada dua sumber rujukan utama, iaitu al-Quran dan hadis.\nLarangan terhadap muzik lantaran ketidaksefahaman dalam kalangan ahli agama menjadi faktor kewujudan pandangan masyarakat yang berasakan muzik tidak perlu dimasukkan dalam kurikulum sekolah. Mereka berasa tidak selesa apabila muzik menjadi subjek kurikulum di sekolah, meskipun subjek Muzik sudah dimasukkan sebagai mata pelajaran tambahan sejak tahun 1970-an.\nSebelum tahun 1970-an, sering kedengaran suara-suara ahli fiqah dan ulama yang menyentuh mengenai kontroversi status muzik dalam Islam. Terlalu sedikit ahli muzik yang melihat kontroversi tersebut secara dekat atau memberikan pandangan mengikut perspektif atau interpretasi masing-masing. Kekurangan pelibatan ahli muzik dalam menyentuh isu tersebut disebabkan rasa ketidakselesaan mereka berkongsi pandangan kepada umum serta kurang ilmu pengetahuan agama.\nSecara umumnya, ahli muzik tidak tergolong dalam kumpulan yang dikaitkan dengan agama. Hal ini berkaitan dengan pandangan masyarakat mengenai pemuzik daripada industri muzik komersial sebagai tidak bermoral dan mengamalkan cara hidup yang terlarang. Masyarakat umum menganggap bahawa kerjaya sebagai pemuzik merupakan pekerjaan yang meragukan apabila sebahagian pemuzik memperlihatkan tingkah laku yang kurang disenangi. Akibatnya, pemuzik pasrah dengan hakikat kontroversi muzik dalam Islam dan menerima implikasi yang negatif.\nUsaha untuk menambah subjek Muzik dalam kurikulum sekolah agak mencabar disebabkan tanggapan salah sesetengah masyarakat yang melihat muzik hanya untuk hiburan semata-mata.\nKontroversi mengenai status muzik dalam Islam menjadi kebimbangan dalam kalangan warga pendidik di Malaysia. Pada peringkat awal, usaha memasukkan subjek Muzik dalam kurikulum sekolah agak sedikit mencabar lantaran salah faham masyarakat yang hanya melihat muzik sebagai alat hiburan. Situasi ini memberikan kesan kepada falsafah pendidikan, kurikulum sekolah, kerjaya berkaitan muzik dan beberapa perkara penting yang lain.\nPenyelidik pada era 1980-an berpandangan bahawa perlu dibuat penelitian terhadap program muzik yang ditawarkan oleh sekolah-sekolah di Malaysia. Hal ini termasuklah mengambil langkah proaktif dengan memberi kefahaman kepada masyarakat tentang kepentingan subjek Muzik dalam kurikulum di sekolah. Usaha ini akan berjaya sekiranya pencerahan mengenai status muzik dalam Islam disampaikan kepada masyarakat.\nBeberapa isu lain mengenai pendidikan muzik di sekolah pada era 1980-an dikenal pasti. Kekurangan guru yang mahir dalam bidang muzik menjadi isu utama. Hal ini menyebabkan rasa ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat mengenai tahap pengajaran muzik di sekolah. Kadang-kadang guru yang dilatih tidak mempunyai bakat yang baik dalam muzik serta disebabkan oleh faktor latar belakang yang bukan daripada bidang muzik.\nIsu berikutnya adalah kualiti kit muzik yang tidak memuaskan. Kit muzik disediakan oleh pihak kementerian bagi kegunaan para guru dan pelajar dalam kelas pembelajaran muzik. Isu kekurangan instrumen muzik di sekolah turut dikenal pasti. Terdapat pula sesetengah pentadbir sekolah yang kurang berminat membaiki alat muzik yang sudah rosak. Hal ini sudah tentu memberi kesan kepada reputasi sekolah sehingga menyebabkan ibu bapa pelajar dan masyarakat berasa kurang senang dengan keadaan tersebut di samping memperlihat ketidaksungguhan pihak sekolah menangani isu berkaitan subjek Muzik.\nSegelintir guru sekolah berasakan bahawa pendidikan muzik perlu meliputi pelajar sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah. Pada masa ini, sejumlah kecil sekolah menengah menawarkan subjek Muzik kepada pelajar mereka. Mereka berasa kelas pendidikan muzik perlu dibuka kepada pelajar tanpa mengehadkan kepada pelajar yang berbakat dan berminat dalam muzik sahaja. Selain itu, guru melihat punca pemikiran negatif terhadap muzik bukan berpunca daripada kurikulum muzik di sekolah, sebaliknya pengaruh dari luar.\nPihak pengurusan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bertanggungjawab melaksanakan kurikulum Muzik berpandangan positif mengenai situasi pendidikan muzik pada masa itu. Mereka melihat muzik berperanan dalam menyumbang ke arah penghasilan pelajar yang seimbang dari segi emosi, jasmani dan rohani. Polisi kerajaan menghantar pelajar ke luar negara dalam bidang Pengajian Muzik dan Pengenalan Program Muzik di institusi pengajian tinggi adalah tindakan yang positif serta dapat membantu mempertingkatkan kualiti pendidikan muzik di sekolah dan institusi pengajian tinggi di Malaysia.\nWalau bagaimanapun, pihak pengurusan di KPM kurang senang tentang kedudukan muzik etnik dan tradisional dalam kurikulum muzik. Objektif utama kurikulum adalah mempromosikan kepelbagaian jenis muzik ini kepada generasi muda. Muzik lain seperti muzik dari Barat boleh digunakan dalam kurikulum Muzik bagi tujuan membangun dan mempromosikan muzik tempatan. Usaha memperkenalkan muzik etnik dan tradisional dalam kurikulum Muzik di sekolah dan institusi pengajian tinggi dapat meredakan spekulasi atau kontroversi mengenai muzik.\nKPM mengambil pendekatan dengan mendapatkan khidmat pensyarah muzik (profesor) daripada institusi pengajian tinggi tempatan yang bertanggungjawab menggubal dan menyemak kurikulum Muzik sekolah. Pada masa itu, terdapat dua institusi tempatan yang menawarkan bidang muzik, iaitu Institut Teknologi MARA yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM). Penglibatan pensyarah daripada kedua-dua institusi pengajian tinggi tersebut dalam urusan semakan dan penggubalan kurikulum muzik di sekolah menjadi petanda bahawa tindakan yang lebih serius sedang diambil untuk mengiktiraf muzik sebagai mata pelajaran dalam sekolah di Malaysia.\nPusat Islam Malaysia turut memberikan pandangan mengenai pendidikan muzik pada era 1980-an yang tiada objektif dan falsafah yang jelas mengenai kepentingan muzik dalam kurikulum di sekolah. Pandangan mereka bersandar kepada pelaksanaan pembelajaran subjek Muzik yang tidak teratur dan tidak mempunyai matlamat khusus yang dipersetujui bersama-sama masyarakat secara amnya.\nPandangan mereka juga berdasarkan kepada kekurangan bilangan guru muzik yang berkemahiran dan kualiti guru ganti yang tidak memuaskan dalam melaksanakan tugas mengajar subjek Muzik. Kualiti guru ganti dan kekurangan guru muzik menjadikan subjek Muzik dilihat tidak penting dan bukan menjadi keutamaan. Pihak sekolah yang kurang memberikan keutamaan terhadap subjek Muzik mempengaruhi tingkah laku pelajar apabila mereka tidak bersungguh-sungguh sewaktu mengikuti pembelajaran kelas muzik di samping timbul konflik antara pengisian kelas muzik dengan guru pengajian agama. Konflik tersebut boleh diselesaikan sekiranya guru mengambil tahu tentang bidang antara satu sama lain.\nBeberapa individu memberikan pandangan mengenai kontroversi muzik dalam konteks Islam. Kontroversi tersebut dapat dikaitkan dengan tanggapan bahawa muzik tidak dibenarkan dalam Islam selain seni suara ketika membaca al-Quran dan melaungkan azan. Tanggapan tersebut turut dikaitkan dengan pengharaman penggunaan beberapa alat muzik. Muzik hanya dibenarkan sekiranya golongan Muslim tidak meninggalkan solat. Guru yang mengajar subjek Muzik dalam sekolah-sekolah di Pantai Timur Semenanjung Malaysia menghadapi cabaran segelintir masyarakat yang tidak bersetuju apabila muzik diajarkan di sekolah. Namun mereka mengatasi masalah tersebut dengan mengajar nasyid dalam kelas muzik.\nPusat Islam Malaysia percaya bahawa pemikiran sempit segelintir masyarakat berkaitan dengan muzik disebabkan oleh faktor kurang faham mengenai kedudukan muzik dalam Islam. Ketidakfahaman ini mengakibatkan timbulnya kontroversi yang tidak menguntungkan. Menurut Islam, muzik dibenarkan bergantung pada bagaimanakah muzik digunakan.\nMenurut Jabatan Pengajian Agama di KPM, muzik dan penggunaan alat muzik dibenarkan dalam Islam jika beberapa syarat dipatuhi. Beberapa larangan muzik melibatkan penggunaan alat muzik tertentu jatuh pada hukum haram dan harus.\nKontroversi biasanya berlaku bagi mencari jalan alternatif. Muzik tidak dinafikan memainkan peranan penting dalam menerapkan nilai murni dalam diri golongan muda serta berperanan penting pada peringkat awal penyebaran Islam. Muzik di sekolah tidak seharusnya terdiri daripada muzik kontemporari popular yang dieksploitasi secara komersial sehingga menimbulkan unsur yang tidak diingini. Sebaliknya, muzik di sekolah harus terdiri daripada lagu patriotik dan lagu yang mengangkat nilai kekeluargaan, alam dan ketuhanan.\nBeberapa pendekatan dicadangkan untuk mengatasi isu kontroversi mengenai status muzik dalam Islam. Institusi pengajian tinggi perlu memainkan peranan dalam mendidik para pemuzik berkaitan dengan muzik dan kedudukan muzik dalam Islam. Selain itu, kementerian perlu menyediakan pendidikan muzik yang berkualiti kepada generasi muda dan memastikan kurikulum Muzik pada peringkat rendah sehingga universiti berterusan.\nPendekatan selanjutnya adalah menerusi forum terbuka yang melibatkan pemuzik dan komuniti agama (ahli fiqah). Menerusi forum ini, solusi terbaik hasil perbincangan dua kumpulan ini dapat disebarkan kepada masyarakat umum berserta sokongan terhadap muzik dalam Islam. Beberapa siri seminar dan kursus perlu diadakan bagi membantu ahli fiqah menyedari kepentingan muzik dan peranan pemuzik dalam menyebarkan muzik yang mencerminkan negara yang sedang membangun.\nStesen-stesen penyiaran utama seperti Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) perlu menyiarkan dan mempromosikan lagu yang bersifat sederhana yang menonjolkan imej Malaysia sebagai negara Islam di Timur. Garis panduan perlu diwujudkan untuk rujukan pihak penganjur konsert muzik di samping para artis dan pemuzik perlu dididik tentang prinsip muzik dalam Islam. Hal ini bagi memastikan mereka tidak tersasar daripada perkara yang dibenarkan kepada perkara yang dilarang.\nKesimpulannya, masyarakat pada era 1980-an berhadapan dengan kontroversi mengenai muzik dan kepentingan muzik dalam kurikulum di sekolah. Kebimbangan ini dilihat sebagai faktor terawal untuk mewujudkan pendidikan muzik di sekolah mengikut perspektif Islam. Selain, itu, terdapat keperluan pendidikan muzik yang mempamerkan identiti tempatan menerusi penawaran muzik etnik dan tradisional di sekolah. Para pendidik muzik di Malaysia dengan sokongan pihak kerajaan berperanan penting dalam mewujudkan pendidikan muzik berorientasikan prinsip Islam dan tempatan." "Festival Filem China 2022 Mengeratkan Industri Filem Malaysia dengan China\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bertempat di DADI Cinema Pavilion, berlangsungnya penganjuran Festival Filem China yang pertama di Malaysia. Festival filem yang berlangsung selama empat hari bermula dari 15 hingga 18 September 2022 tersebut dianjurkan oleh Pusat Kebudayaan China Kuala Lumpur.\nPenganjuran festival filem yang pertama kali diadakan di Malaysia ini merupakan antara usaha berterusan Malaysia dengan China dalam meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara menerusi industri perfileman.\nTimbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, YB Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, festival filem tersebut bukan sahaja menjadi platform kepada pembuat dan penerbit filem kedua-dua negara untuk saling bertukar idea, tetapi juga adalah untuk mengenal pasti peluang kerjasama dalam membangunkan industri perfileman.\nFilem On Your Mark arahan pengarah filem dari Malaysia, Chiu Keng Guan ditayangkan pada malam majlis perasmian festival tersebut. Filem ini berjaya memperoleh RM8.7 juta pada hari pertama tayangannya dan terus menjana keuntungan sehingga RM24 juta dalam tempoh dua hari tayangan, sekali gus menjadi filem nombor satu di China. Kejayaan filem ini juga membuktikan kemampuan bakat dan idea kreatif dari negara kita yang mempunyai kualiti hebat sebagai teraju dalam produksi bertaraf global.\n\u201cSaya amat berbangga kerana sebuah filem terbitan Malaysia mendapat perhatian dan menjadi tumpuan di negara China. Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) mengalu-alukan semua produksi luar negara, khususnya dari Republik Rakyat China untuk menjalankan penggambaran filem di Malaysia. Saya juga percaya festival filem ini akan menjadi platform penting bagi kedua-dua pihak untuk meningkatkan persefahaman dan persahabatan antara rakyat Malaysia dengan China,\u201d ujar YB Datuk Zahidi.\nFINAS menawarkan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) untuk menarik pelaburan asing dalam penerbitan filem dan televisyen dengan menggunakan Malaysia sebagai lokasi penggambaran.\nKerjasama strategik bersifat jangka masa panjang menerusi perjanjian kerjasama produksi antarabangsa antara dua negara tersebut yang sedang dimuktamadkan merupakan inisiatif kerajaan dalam meningkatkan daya saing ekonomi industri filem tempatan pada peringkat global.\nSepanjang empat hari Festival Filem China 2022 berlangsung di DADI Cinema Pavilion, sebanyak 20 buah filem ditayangkan dalam festival filem ini dengan 18 filem dari China dan dua filem dari Malaysia." "Festival Gegau [email\u00a0protected] Melaka Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 YB Datuk Muhammad Jailani Khamis, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia mewakili YAB Datuk Seri Utama (Dr.) Haji Sulaiman Md. Ali, Ketua Menteri Melaka berangkat ke Muzium Negara pada petang tadi bagi merasmikan Festival Gegau [email\u00a0protected] Melaka Tahun 2022. Festival tersebut dianjurkan oleh Persatuan Dondang Sayang Negeri Melaka dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Jabatan Muzium Malaysia dan Tourism Melaka.\nTurut hadir dalam festival tersebut ialah YBrs. Encik Mohd Nasrulamiazam Mohd Nasir Timbalan Pengarah Muzium Negara; YBrs. Tuan Badarudin Mohd Kassim, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka; YBrs. Encik Saari Basiron, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan, Jabatan Ketua Menteri Melaka; YBrs. Encik Nurman Mohd Baroldin, Pengurus Besar Institut Warisan Melaka; dan YBrs. Encik Mohd Isa Nordin, Timbalan Pengerusi Persatuan Dondang Sayang Negeri Melaka.\nMelalui festival tersebut, YB Datuk Muhammad Jailani Khamis mengucapkan terima kasih kepada Muzium Negara kerana memberikan ruang kepada pelbagai pihak yang terlibat bagi memastikan festival tersebut berlangsung dengan jayanya. Kios yang disediakan di Muzium Negara juga membolehkan para peniaga mempamerkan dan menjual produk tempatan dan pada masa yang sama dapat menjana pendapatan usahawan dan peniaga tempatan. Menurut beliau, festival tersebut penting bagi menggamit kembali warisan dan seni budaya masyarakat Melayu, khususnya Jawa, Bugis, Minang dan pelbagai etnik di Melaka termasuklah masyarakat campuran seperti baba dan nyonya. Melihat kepentingan warisan seni dan budaya, ujar beliau:\nKadang-kadang kita masih alpa dan leka tentang apa itu nilai budaya Melayu. Oleh itu, kami mengadakan program sebegini supaya kita mendapat pendedahan tentangnya supaya warisan bangsa ini tidak pudar sama sekali. Ada pepatah mengatakan bahawa \u2018bahasa menunjukkan bangsa\u2019 tetapi kita lupa akan faktor budaya itu yang menentukan bangsa.\nSehubungan dengan itu, beliau mengajak masyarakat agar memeriahkan festival yang diadakan untuk mengenali, memahami dan mencintai seni warisan bangsa.\nFestival Gegau [email\u00a0protected] Melaka Tahun 2022 ini diadakan pada 23 hingga 25 September 2022 di Perkarangan Muzium Negara dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Festival tersebut diadakan bertujuan untuk menyampaikan seni budaya masyarakat Melayu khususnya di Melaka di samping memberikan peluang kepada para pelancong dalam dan luar negara yang berkunjung ke Muzium Negara untuk merasai sendiri kepelbagaian bentuk warisan dan seni budaya yang terdapat di negeri Melaka.\nAntara acara yang diadakan sempena festival tersebut ialah:\nYB Datuk Muhammad Jailani melawat reruai di perkarangan Muzium Negara.\nMenerusi festival tersebut, para pengunjung dapat merasai dan menikmati kuih dan makanan yang dimasak di tapak festival tersebut seperti dodol, lemang, asam pedas Melaka dan kuih bakar Melaka.\nMelalui ucapan beliau, YB Datuk Muhammad Jailani Khamis turut mempromosikan produk Melaka seperti makanan yang menarik pengunjung ke sana dan tempat menarik di Melaka yang sesuai dikunjungi oleh para pelancong baik pelancong tempatan mahupun luar negara. Antara tempat menarik di Melaka ialah Zoo Melaka & Night Safari, Menara Taming Sari, Dataran Keris, Muzium Kapal Selam, Melaka River Cruise, Taman Tema Air A\u2019Famosa Resort, Pusat Konservasi Penyu dan Pantai Pengkalan Balak.\nDalam majlis tersebut, YB Datuk Muhammad Jailani turut menyampaikan hadiah kepada peara pemenang yang terlibat dalam petandingan tarian.\nFestival tersebut amat bermakna kepada para peniaga tempatan untuk menjana pendapatan setelah terkesan dengan pandemik COVID-19. Menurut Encik Halim Haji Samsuddin, 43 tahun dari Syarikat Fauziah Karim\u00a0 (M) Sdn. Bhd. yang terlibat dalam jualan makanan tradisional seperti dodol dan pes asam pedas di festival tersebut, penganjuran festival seumpama itu dapat membantu syarikat kecil untuk \u2018bernafas\u2019 semula. Harapan beliau, sektor pelancongan dapat diaktifkan semula dan pada masa yang sama dapat membantu meningkatkan ekonomi masyarakat tempatan.\nEncik Mohamad Asri Rostam dari Melaka Knife Maker, Bukit Baru Melaka yang mempamerkan dan menjual produk senjata tradisional dalam festival tersebut juga berharap agar festival seperti itu akan terus diadakan untuk membantu masyarakat tempatan menjana pendapatan. Hal ini demikian kerana menurut beliau, sektor ekonomi selepas pandemik COVID-19 kelihatan masih perlahan." "Adaptasi Karya Menyebarluaskan Jati Diri dan Identiti Masyarakat Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKepesatan teknologi maklumat dan komunikasi era kini memberikan kesan kepada budaya masyarakat moden yang terampil dalam menterjemahkan hidangan pengkaryaan yang lebih terbuka dan bersifat elektronik serta menerusi pawagam-pawagam yang menyediakan layar canggih dengan sesetengahnya ada mengaplikasikan teknologi MX4D dan 4DX yang dilengkapi dengan ciri-ciri khas seperti kesan bunyi, bauan, angin, air, pergerakan tempat duduk serta kesan gegaran lain yang seiring kesan bunyi visual, asap dan lain-lain atau lebih mesra penonton dengan pawagam 6D. Demikian antara pengalaman menarik yang sedang pesat diterokai oleh pasaran berkaitan dunia visual yang berkembang dan bergerak dengan amat pantas.\nMenyedari hal ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) memberikan tumpuan serta sasaran secara dinamik bagi mempertingkatkan karya-karya kreatif yang bermutu tinggi daripada penerbit-penerbit buku tempatan untuk diadaptasi kepada layar perak. Justeru, hal ini dapat mengaktifkan lagi industri televisyen dan filem negara ini.\nDewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga seiring dengan hasrat K-KOMM untuk menggiatkan lagi industri adaptasi negara dengan badan ini sebagai pusat yang menyediakan bahan-bahan yang boleh diketengahkan sebagai sumber di samping bertindak sebagai perunding dan perancang kandungan adaptasi berdasarkan penerbitan genre kreatif seperti novel, cerpen, puisi atau biografi yang diterbitkan di bawah badan ini.\nRentetan itu, perkongsian bertajuk DBP dan Pengkaryaan Adaptasi disampaikan oleh Rusdi Abd. Rahman, Perancang Bahasa dari Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, menerusi slot Cakna Bahasa terbitan BERNAMA Radio.\nDalam perkongsiannya, Rusdi memaklumkan bahawa DBP mempunyai sejumlah karya hebat yang mengangkat tema-tema berkaitan perlambangan jati diri bangsa Malaysia yang dihasilkan oleh penulis-penulis dalam kalangan tokoh sastera terbilang seperti sasterawan negara dan penulis-penulis yang berjaya lahir daripada program-program pengembangan dan sayembara kesusasteraan DBP.\nMenariknya DBP sejak dahulu menjadi tumpuan para karyawan televisyen dan filem bagi merujuk karya-karya unggul terbitan DBP untuk diadaptasi sebagai karya drama televisyen, drama pentas, telefilem, filem pendek dan filem. Kesemua genre kreatif media baharu ini mempunyai potensi yang besar dan karya-karya terbaik yang boleh dihasilkan dalam pengkaryaan ini sedia untuk dibaca dan diterjemahkan dalam adaptasi ini.\nBerdasarkan penelitian Rusdi juga, usaha pengkaryaan adaptasi ini boleh dimanfaatkan oleh sebahagian besar masyarakat kerana jumlah khalayak yang menonton kaca televisyen dan layar adalah lebih luas walaupun karya konvensional buku masih mendapat sambutan. Pakej visual, sinematografi serta audio yang berkesan menjadikan khalayak berasa adaptasi karya lebih menyeronokkan dan mesej karya dapat disampaikan dengan cara yang lebih kreatif.\nMerujuk pada penelitian Dr. Abang Patdeli bin Abang Muhi (2022) yang menjelaskan bahawa sarana dan wahana teknologi maklumat era kini turut dioptimumkan oleh karyawan dalam menghasilkan karya, mempromosikan dan menjual karya sastera serta turut menyebarluaskan karya sastera. Oleh hal yang demikian, DBP turut berada dalam formasi industri kreatif ini. Walaupun dilihat sebagai badan penting yang boleh menjana industri ini, DBP masih mencari rentak yang tepat dan arah yang jitu bagi meletakkan DBP sebagai gedung kandungan industri kreatif utama negara.\nSehubungan dengan itu, DBP terus kekal fokus dalam mengekalkan mutu penghasilan dan penerbitan karya kreatifnya di samping DBP amat sinonim dan terkenal sebagai badan penerbit yang mengkhususkan karya-karya bertemakan jati diri bangsa. Kesannya, sudah tentu daripada pengkaryaan adaptasi yang dikawal mutunya oleh DBP, aspek kualiti bahasa juga diberikan perhatian.\nAntara karya adaptasi daripada DBP yang cukup dikenang sehingga kini termasuklah filem Ranjau Sepanjang Jalan (1983) karya Allahyarham Datuk Shahnon Ahmad dan filem arahan Allahyarham Datuk Jamil Sulong. Filem adaptasi terbitan Kay Sarimah Sdn. Bhd. ini berjaya memenangi pelbagai anugerah dalam acara anugerah filem tempatan serta turut mendapat pengiktirafan dan anugerah pada peringkat antarabangsa seperti memenangi Anugerah Khas Juri pada Festival Filem Asia Pasifik ke-28 pada tahun 1983.\nSehingga kini, antara karya-karya DBP yang telah diadaptasi termasuklah novel Ayahanda karya Azizi Haji Abdullah yang berjaya mendapat 24 juta tontonan di saluran TV3, Sesekali daripada genre puisi karya Lily Nasir dan Korban Kasih karya Fatimah Saidin. Kerjasama lain berkaitan adaptasi ini adalah Jabat Erat-erat karya Amin Masyhur adaptasi daripada genre cerpen dan Capa Rengat Gulai Rawo daripada cerpen Burhanuddin Kahar.\nMengakhiri perkongsiannya, Rusdi turut memberikan contoh bulan sambutan hari kebangsaan, ruang untuk meneroka karya-karya bersifat kebangsaan serta menyerlahkan patriotisme dan nasionalisme boleh diangkat mewarnai arena adaptasi tempatan. Kesemua karya yang mengangkat tema ini sudah sedia ada di DBP dan pihak DBP mengalu-alukan semua pihak yang berminat atau ingin mendapatkan maklumat berkaitan karya sastera atau penerbitan yang berpotensi untuk diadaptasi dengan menghubungi DBP.\nSebagai badan penerbit yang mementingkan kualiti khususnya demi mendaulatkan bahasa dan sastera kebangsaan dalam menerbitkan karya-karya, DBP akan terus menyokong dan sentiasa bersedia untuk meneroka kerjasama yang lebih besar dan berimpak tinggi dalam merealisasikan dimensi pengkaryaan buku ke layar dan seterusnya menyemarakkan industri kreatif negara.\nPenulisan kreatif kini sememangnya amat dinamik. Manakala para karyawan sudah tentu akan sentiasa mencabar diri menghasilkan karya-karya unggul untuk masa hadapan dengan mencurahkan segala pengalaman sejarah, budaya, warisan serta tradisi yang kita miliki agar daripada khazanah sastera ini kita akan dapat menemukan permata bangsa yang amat bernilai tinggi dan kekal sepanjang zaman untuk ditonton, dirujuk dan dihayati oleh anak bangsa." "Raja Muda Perlis Memeriahkan Program TT Klasik Mercedes Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Program TT Klasik Mercedes Perlis diadakan buat julung-julung kalinya di negeri Perlis dengan mempamerkan koleksi lebih daripada 70 buah kereta jenama Mercedes. Selain mendapat sambutan yang luar biasa daripada para peminat kereta jenama dari Jerman itu, Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail juga berkenan berangkat melawat program tersebut yang diadakan di perkarangan Restoran Sungai Bakong Dua, Padang Behor, Kangar pada 25 September 2022.\nBaginda juga sempat berbual mesra bersama dengan para pengunjung sambil bertukar-tukar cerita mengenai koleksi selain meninjau kereta klasik Mercedes yang berkumpul di negeri Indera Kayangan itu.\nProgram tersebut dianjurkan dengan kerjasama Komuniti Mercedes Perlis, Rakan Mercedes Kulim, Northern Mercedes Benz Owners Club, Tuten Northern dan juga W202 Otai Utara. Turut hadir menyambut keberangkatan baginda ialah ikon klasik Mercedes Malaysia, Azril Bahaman yang juga Pengasas Klasik Mercedes Malaysia.\nBagi memeriahkan program tersebut, beberapa acara lain turut diadakan seperti acara Review Kereta, penyampaian hadiah lima buah kereta pilihan selain jualan dan autograf merchandise produk yang dibawa khas untuk para peminat Mercedes sebagai tanda penghargaan atas sokongan padu pada program tersebut.\nPenganjur turut menganjurkan konvoi ke satu daripada hidden gems negeri Perlis, iaitu Tasik Timah Tasoh. Pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan di sini seperti berkayak, berbasikal atau menyewa kenderaan seperti menunggang skuter dan menaiki kereta api kanak-kanak yang dikenakan caj bayaran yang minimum. Di samping itu, para pengunjung juga boleh memancing sambil menikmati pemandangan Tasik Timah Tasoh yang indah.\nProgram TT Klasik Mercedes Perlis berjaya mengumpulkan pelbagai jenama model kereta yang mempunyai reka bentuk yang unik dan klasik. Mercedes merupakan satu daripada jenama terbesar dan terawal yang diperkenalkan selain BMW dan mula dipandu oleh generasi awal yang kebanyakannya terdiri daripada golongan bangsawan.\nSehingga kini, Mercedes terus mengembangkan pengeluaran keretanya dengan tahap kualiti yang setara dengan kereta terkini. Satu daripada model kereta klasik yang dikenali dan diminati oleh peminat jenama ini adalah Mercedes-Benz 190E (W201) yang dihasilkan pada tahun 1982. Model ini masih lagi kelihatan unik, relevan dan tidak lapuk ditelan zaman kerana pada masa itu, pengeluar kereta Mercedes tidak hanya mementingkan keuntungan sahaja, malah turut fokus pada nilai dan emosi produk mereka dengan membelanjakan lebih RM3.5 billion untuk mengembangkan model ini." "Meraikan Bahasa Etnik dalam Era Globalisasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\nSABAH \u2212 Dalam era globalisasi kini, bahasa etnik di Malaysia semakin beransur hilang dan pupus. Menurut Pertubuhan Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), sebanyak 230 bahasa telah pupus dari tahun 1950 hingga tahun 2010. Sehubungan dengan itu, pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak kerajaan dan aktivis bahasa dalam usaha untuk terus mendukung dan melindungi bahasa etnik yang ada di negara ini termasuklah melalui penganjuran Seminar Bahasa dan Etnik Budaya (SEBEM).\nSEBEM 2021 pada tahun ini diadakan pada 9 September 2021 dan 10 September 2021,\u00a0 anjuran Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent, dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS), dan Kolej Sidma Sabah. Seminar ini dijalankan secara maya dan boleh ditonton secara dalam talian melalui Youtube IPG Kampus Kent dan aplikasi Google Meet.\nPenganjuran SEBEM 2021 ini telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, YB Datuk Jahid Jahim, dan menerima lebih kurang 200 penyertaan yang terdiri daripada warga Kementerian Pendidikan Malaysia, Institusi Pengajian Tinggi Awam, Institusi Pengajian Tinggi Swasta, agensi kerajaan serta pelbagai pertubuhan lain.\nDengan tema \u201cMelestarikan Bahasa Etnik Era Baharu\u201d, seminar ini melibatkan 28 kertas penyelidikan pelbagai disiplin, tiga pembentangan khas dan dua ucaptama. Seminar ini turut mempunyai beberapa subtema, iaitu bahasa, budaya etnik, pendidikan bahasa etnik, kesusasteraan etnik dan kesenian etnik yang terdiri daripada seni visual, seni tari, seni muzik dan sebagainya.\n\nDua ucaptama seminar ini melibatkan pensyarah Universiti Brunei Darussalam, iaitu Profesor Dr. Yabit Alas, dengan tajuk \u201cMedia Sosial sebagai Alat Merevitalisasi Bahasa Dusun di Brunei Darussalam\u201c dan pensyarah Universitas Palangka Raya, Kalimantan Tengah, Profesor Kumpiady Widen, dengan tajuk \u201cPergeseran dan Pelestarian Bahasa Etnik di Era Globalisasi\u201c.\nTiga pembentang khas pula terdiri daripada pensyarah Institut Agama Kristen Negeri (IAKN), Indonesia, iaitu Dr. Wilson, dengan tajuk pembentangannya, \u201cKearifan Lokal: Filosofi Berladang Suku Dayak Iban Sintang Kalimantan Barat\u201c, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul dengan tajuk \u201cMemperkasakan Konsep Sastera Etnik dalam Konteks Persuratan Kreatif Borneo\u201c dan Pensyarah Kanan IPG Kampus Kota Bharu, Dr. Mohd Rozi Ismail pula dengan tajuk \u201cPeranan Dialek Kelantan sebagai Catalyst Penyatuan Rakyat Kelantan di Luar Negara\u201c.\nSeminar yang dianjurkan selama dua hari ini mempunyai pelbagai tujuan. Antaranya termasuklah untuk memperkasakan fungsi IPG Kampus Kent sebagai pusat kecemerlangan pedagogi bahasa Kadazan Dusun, memantapkan kemahiran menyelidik, membentang dan menulis artikel ilmiah, berkongsi pengalaman dan dapatan kajian dalam bahasa, budaya, sastera dan pedagogi bahasa etnik melalui seminar, memperkaya rujukan keilmuan, kandungan \u00a0dan pedagogi bidang bahasa, budaya dan sastera subetnik di Malaysia.\nDi samping itu, seminar ini juga bertujuan untuk menyebar luas penemuan amalan terbaik dan inovasi dalam bidang kebahasaan dan pendidikan bahasa subetnik di Malaysia, membina jaringan perkongsian pintar dalam kalangan pendukung, pencinta dan aktivis bahasa, budaya dan sastera subetnik di Malaysia, membina jaringan kerjasama akademik antara IPG Kampus Kent dengan Kolej SIDMA Sabah, dan menerbitkan hasil kajian dalam prosiding kajian, seterusnya jurnal bahasa Kadazan Dusun untuk rujukan khalayak." "\u201cKongres Antarabangsa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu\u201c Menjulang Dunia Melayu ke Persada Antarabangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Buat julung-julung kalinya, tahun ini Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan Kongres Antarabangsa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu dengan tema \u201cMemperkasa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu\u201d pada 28 hingga 29 September 2022 di Bilik Senat, Bangunan Canselori, UKM.\nKongres ini diadakan bagi berkongsi ilmu bidang bahasa dan tamadun alam Melayu kepada masyarakat, khususnya generasi muda bersama dengan para tokoh ilmuwan serta berjaya menghimpunkan seramai 60 peserta dari negara Thailand, Indonesia, Jerman dan Malaysia. Kongres ini dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Dato\u2019 Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian.\nKongres ini merupakan platform perkongsian pintar antara tokoh-tokoh ilmuwan bahasa dengan masyarakat, mengupas dan mengembangkan konsep tamadun alam Melayu yang menjadi tonggak utama dalam pembentukan semangat kenegaraan Malaysia merangkumi seluruh aspek kehidupan.\nSelain itu, kongres ini juga dapat menaikkan semangat dan menanam iltizam yang tinggi dalam kalangan peserta tentang potensi, peranan dan kepentingan memperkasa bahasa dan tamadun alam Melayu dalam setiap medium yang ada, mendedahkan produk bahasa dan tamadun alam Melayu kepada peserta menerusi pameran yang diadakan sepanjang kongres berlangsung untuk memberikan nilai ekonomi kepada bahasa dan tamadun serta menyampaikan resolusi berkenaan strategi dan inisiatif yang dapat dilaksanakan dalam agenda pemerkasaan bahasa dan tamadun alam Melayu.\nMenurut Dato\u2019 Dr. Haji Megat Sany dalam ucapan perasmiannya, tiga asas utama kewujudan dan kejayaan tamadun Barat, iaitu falsafah, sejarah dan kesusasteraan diambil dan dibina berdasarkan cerminan daripada kegemilangan tamadun Islam yang terbina daripada tiga tiang seri utama, iaitu agama, bahasa dan budaya. Ketiga-tiga asas ini mempunyai hubung kait yang amat rapat antara satu dengan yang lainnya.\n\u201cKecemerlangan tamadun Islam adalah melalui bahasa Arab yang berkembang sehingga menjadi cara hidup dan budaya masyarakat. Walau bagaimanapun, agama Islam tidak memaksa semua umatnya menerima bahasa Arab sebagai lingua franca atau sebagai bahasa ibunda. Sebaliknya, setiap kaum dan etnik bebas untuk terus menggunakan bahasa ibunda masing-masing walaupun telah menganut agama Islam,\u201d ujar Dato\u2019 Dr. Haji Megat Sany.\nTambah beliau lagi, perbendaharaan kata bahasa Melayu turut diperkaya dengan bahasa Arab dan bahasa Parsi. Menjelang abad ke-16, bahasa Melayu muncul sebagai bahasa terpenting di rantau ini yang mampu menghasilkan teks persuratan dan teks agama dalam pelbagai bidang selaras dengan kelahiran ramai tokoh ilmuan dan para ulama Melayu dari Kepulauan Melayu Nusantara.\nDato\u2019 Dr. Haji Megat Sany turut berkata, KPT kini sedang dalam proses untuk membangunkan \u201cDasar dan Pelan Tindakan Memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPTA\u201d sebagai usaha untuk memperkasakan bahasa kebangsaan pada peringkat pengajian tinggi.\n\u201cKongres ini adalah antara prakarsa atau inisiatif langsung yang dilaksanakan oleh UKM bagi menggerakkan agenda pemerkasaan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa. UKM berpendapat bahawa agenda ini tidak hanya menjadi matlamat dan usaha UKM sahaja, sebaliknya perlu diperluaskan dalam kalangan rakan-rakan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang lain, agensi-agensi berkaitan kerajaan, pihak industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti setempat dan seluruh anggota masyarakat sivil,\u201d kata Naib Canselor UKM, Profesor Dato\u2019 Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman dalam ucapan alu-aluannya.\nJelas beliau lagi, hasil pencapaian orang Melayu terdahulu dalam memartabatkan bahasa Melayu sangat penting sehingga wujudnya Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia sebagai lambang bukti hasil daripada ketamadunan orang Melayu yang menggunakan bahasa Melayu, budaya Melayu dan Islam sebagai agamanya. Nilai dan teras inilah yang secara tersirat dan tersurat membentuk kerukunan, keamanan dan kestabilan negara Malaysia pada hari ini.\nTurut hadir memeriahkan kongres ialah Profesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Mohamad Abd. Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM; Profesor Dato\u2019 Dr. Wan Kamal Mujani, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) UKM; merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kongres Antarabangsa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu; Profesor Dr. Mohammad Kassim, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) UKM; Profesor Madya Dr. Mohd Suzeren Md. Jamil, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM; Profesor Dr. Norhamidi Muhamad, Pro Naib Canselor (Penjanaan dan Prasarana) UKM; Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM; Encik Mohd Azli Mohd Kasirun, Bendahari UKM serta Cik Rohaya Umar, Ketua Pustakawan UKM." "Penerbitan Melayu di Taiping\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKekayaan bijih timah yang terdapat di Taiping pada sekitar abad ke-19 menyebabkan bandar itu mengalami pembangunan pesat pada suatu masa dahulu. Landskap ekonomi di bandar tersebut berubah apabila pelbagai jenis perniagaan dan perdagangan ditubuhkan dan dibuka secara besar-besaran bagi menampung permintaan orang ramai dan keperluan semasa. Pembangunan intelektual turut berkembang sejajar dengan pertumbuhan ekonomi di bandar tersebut.\nAntara yang menjadi lambang kemajuan intelektual di bandar Taiping pada masa dahulu adalah kewujudan penerbitan berkala seperti akhbar dan buku-buku sama ada dalam bentuk fiksyen atau bukan fiksyen. Akhbar mingguan Seri Perak menjadi akhbar berbahasa Melayu yang pertama diterbitkan dan dicetak di Taiping, bahkan dianggap sebagai yang pertama di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Akhbar tersebut diterbitkan buat pertama kali pada bulan Jun 1893 oleh Saiyid Abul Hasan Burhan, seorang India Muslim yang berasal dari Madras, India.\nBerdasarkan penulisan Ahmat Adam dalam Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah Melayu Abad Kesembilan Belas (1992) yang diterbitkan oleh Penerbit UKM pada halaman 68 dan 69, Saiyid Abul Hasan berhijrah ke Taiping pada sekitar tahun 1870-an sewaktu berusia awal 20-an untuk berkhidmat sebagai tenaga pengajar kepada para pegawai Inggeris dengan mengajar mereka bahasa Hindi.\nSaiyid Abul Hasan turut menerbitkan dan mencetak akhbar tersebut kerana beliau juga memiliki syarikat percetakan yang dikenali dengan nama Taiping Press. Bagi memastikan akhbar tersebut dapat dikeluarkan secara konsisten pada setiap minggu, beliau telah melantik Muhammad Omar bin Abu Bakar sebagai pengarang akhbar tersebut. Walau bagaimanapun, Muhammad Omar meletak jawatan pada penghujung tahun 1894 kerana mengalami masalah kesihatan. Ketiadaan pengarang yang berwibawa menyebabkan Saiyid Abul Hasan mengambil keputusan untuk memberhentikan penerbitan akhbar Seri Perak. Pada awal Mac 1895, Seri Perak secara rasmi ditamatkan operasinya.\nNamun begitu, minat Saiyid Abul Hasan untuk kembali menerbitkan akhbar Melayu tidak pernah padam. Beliau menerbitkan sebuah lagi akhbar yang dinamakannya sebagai Jajahan Melayu. Akhbar ini diterbitkan pada 4 November 1896. Beliau berjaya menghubungi Muhammad Omar dan mengajaknya untuk bekerja semula dengannya sebagai pengarang. Selain Muhammad Omar, akhbar ini turut mendapat khidmat Mohamed Goolam Kader bin Mohamad Ali sebagai pengarang. Akhbar ini juga menerima nasib yang sama seperti Seri Perak apabila ditamatkan operasinya pada 28 Oktober 1897.\nSatu-satunya akhbar Melayu yang masih diterbitkan di Taiping selepas itu adalah Warta Kerajaan Perak yang diterbitkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan dicetak di Government Printing Office yang terletak di Taiping. Berbanding Jajahan Melayu yang diterbitkan sebanyak sekali pada setiap minggu, Warta Kerajaan Perak pula diterbitkan hanya sekali dalam sebulan. Isu pertama diterbitkan pada bulan Januari 1897. Isi kandungannya pula berkenaan perjawatan, penyata bulanan, pewartaan undang-undang dan maklumat terkini tentang pentadbiran kerajaan negeri. Warta Kerajaan Perak versi Jawi ditamatkan operasinya pada bulan April 1905, manakala versi Rumi pula ditamatkan pada awal tahun 1910.\n\u00a0\nAl-Maktabah Wa Al-Matba\u2019ah Al-Zainiyah (selepas ini disebut sebagai Al-Zainiyah Taiping) boleh dianggap sebagai syarikat penerbitan dan percetakan Melayu yang terbesar di Taiping. Syarikat ini yang dimiliki oleh Haji Muhammad Zain bin Haji Isa mempunyai hubungan yang erat dengan para tokoh dan bangsawan Melayu di utara Tanah Melayu termasuklah pihak Istana Negeri Perak. Al-Zainiyah Taiping mempunyai dua pusat operasi, iaitu di Pulau Pinang dengan alamat No. 98, Pitt Street, Penang dan di Taiping, Perak dengan alamat No. 185, Main Road, Taiping.\nPusat operasi di Pulau Pinang lebih awal dibuka berbanding pusat operasi di Taiping. Pembukaan pusat operasi di Taiping mempunyai kaitan dengan usaha untuk memenuhi permintaan penerbitan daripada Istana Negeri Perak, institusi pendidikan dan para ulama yang berada di negeri Perak.\nAntara bahan bercetak terawal yang diterbitkan oleh Al-Zainiyah Taiping adalah Hikayat Menteri Yuhi yang dikarang oleh Putih bin Syeikh Umar Basha dan diterbitkan pada tahun 1928. Pada tahun yang sama, buku kategori bidang sains dan teknologi yang berjudul Kitab Kesihatan Diri karangan Abidin bin Ali diterbitkan oleh Al-Zainiyah Taiping.\nBahan bercetak seterusnya yang diterbitkan pada tahun yang sama adalah kitab Bidayah Al-Talibin ila Ma\u2019rifah Rabb Al-Alamin yang ditulis oleh ulama besar Tanah Melayu, iaitu Tuan Guru Husain bin Muhammad Nasir bin Muhammad Taib bin Mas\u2019ud yang lebih dikenali sebagai Tuan Husain Kedah. Kitab tersebut mengandungi perbahasan yang berkaitan dengan akidah dan falsafah.\nKitab-kitab lain yang ditulis oleh Tuan Husain Kedah yang diterbitkan oleh Al-Zainiyah Taiping termasuklah Hikayat Al-Fattah Fi Bayan Ahkam Al-Nikah dan Usul Al-Tauhid Fi Ma\u2019rifati Turuq Al-Iman Li Al-Rabb Al-Majid. Kitab pertama diterbitkan pada tahun 1929, manakala kitab kedua diterbitkan pada tahun 1933. Kitab pertama dikategorikan sebagai kitab undang-undang (hukum-hakam), manakala kitab kedua berada dalam kategori kitab akidah dan falsafah. Berbanding kitab pertama, kitab kedua sehingga kini masih lagi diterbitkan dan telah dirumikan oleh penerbit-penerbit baharu.\nPada tahun 1929 juga, Al-Zainiyah Taiping menerbitkan karya pengarang terkenal Harun Aminurrashid yang berjudul Pesaka Sari. Buku dengan ketebalan 68 halaman ini ditulis bersama-sama Yusuf Adil dan berada dalam kategori seni dan kebudayaan. Karya seterusnya yang diterbitkan adalah kitab Kesopanan Hidup yang disusun oleh Asbiran Yaakub dan Ahmad Lutfi serta berada dalam kategori akidah dan falsafah. Nama Asbiran Yaakub semakin menyerlah kerana beliau merupakan penterjemah awal Hadith 40 karya Imam Nawawi kepada bahasa Melayu, manakala Ahmad Lutfi adalah pengarang muda yang sedang meningkat naik pada masa itu.\nPada tahun yang sama, Al-Zainiyah Taiping turut menerbitkan karya pengarang dari Melaka, iaitu Abdul Hamid bin Ahmad yang berjudul Perjodohan Yang Setia. Abdul Hamid adalah pengarang Qamus al-Hamidi yang menghimpunkan perkataan-perkataan Arab yang dipinjam dalam bahasa Melayu. Kamus tersebut diterbitkan oleh Pejabat Karang-Mengarang, Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak pada tahun 1941.\nPada tahun 1933, Al-Zainiyah Taiping menerbitkan buku yang berkaitan dengan hobi dan teknik yang merupakan genre yang jarang dibicarakan oleh masyarakat pada masa itu. Buku yang berjudul Rahsia Permainan Silap Mata karangan Ahmad bin Abdullah diterbitkan oleh syarikat tersebut dengan tujuan untuk meninjau keadaan pasaran buku pada masa itu.\nAhmad bin Abdullah adalah seorang pengarang serba unik kerana boleh menulis dalam pelbagai bidang. Oleh hal yang demikian, beliau mendapat kepercayaan Al-Zainiyah Taiping untuk menghasilkan beberapa lagi karya yang diterbitkan oleh syarikat itu. Antaranya termasuklah Sahabat Baru yang merupakan karya unik berbentuk puisi dan Memilih Jodoh, sebuah karya dalam bidang sosiologi. Kedua-dua karya tersebut diterbitkan pada tahun 1938 dan tahun 1939.\nSatu-satunya karya penulis wanita yang diterbitkan oleh Al-Zainiyah Taiping adalah Inilah Yang Dinamakan Taman Pengajaran yang dikarang oleh Fatimah Wahab. Karya tersebut diterbitkan pada tahun 1934 dan diletakkan dalam bidang akidah dan falsafah sebagaimana yang dinyatakan dalam salinannya yang boleh ditemui di Universiti Malaya.\nAntara karya-karya ulama besar Perak yang diterbitkan oleh Al-Zainiyah Taiping termasuklah Tanwir Al-Sibyan Fi Tajwid Al-Quran yang dikarang oleh Tuan Guru Haji Muhammad Saman bin Yusuf Al-Rawa (diterbitkan pada tahun 1934), Masail Sibyan (diterbitkan pada tahun 1937) yang dikarang oleh Tuan Guru Haji Muhammad Yunus bin Haji Aqib, dan Al-Qiblah Fi Nusyusyi Ulama Al-Syafi\u2019iyyah Fi Ma Yata\u2019allaqu Bi Istiqbal Al-Qiblati Al-Syar\u2019iyyah Manqulah Min Ummuhat Kutub Al-Mazhab (diterbitkan pada tahun 1951) karangan Shaykh Tahir Jalaluddin.\nAl-Zainiyah Taiping turut menerbitkan terjemahan kitab Ta\u2019lim Al-Muta\u2019alim karya Imam Al-Zarnuji yang diusahakan oleh ulama besar Melaka, Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Kasim yang diterbitkan pada tahun 1937.\nAl-Zainiyah Taiping bekerjasama dengan Madrasah Al-Tarbiah Al-Islamiah, Changkat Jering bagi menerbitkan buku bertajuk Asal Tarikh yang dikarang oleh guru berpengalaman, Muhammad bin Dato Muda Linggi dan buku berjudul Bahtera Keselamatan yang tergolong dalam kategori akidah dan falsafah. Buku Asal Tarikh mengandungi maklumat tentang asal bulan-bulan Arab dan Inggeris. Kedua-dua buku tersebut diterbitkan pada tahun 1947 dengan sebahagian hasil jualan buku-buku tersebut disalurkan kepada pembangunan madrasah.\nSebuah lagi buku yang diterbitkan pada tahun 1947 untuk tujuan pembangunan madrasah tersebut adalah Tafsir Surah Al-Asr yang dikarang oleh Yusuf Ahmad Lubis, seorang ulama yang berasal dari Mandailing, Indonesia dan dikatakan adalah pengasas madrasah tersebut.\nPengalaman dan kemampuan Al-Zainiyah Taiping menerbitkan bahan-bahan bacaan bermutu mendapat perhatian pihak Istana Negeri Perak. Oleh sebab itu, pihak istana memilih Al-Zainiyah Taiping untuk menerbitkan dan mencetak bahan-bahan penerbitan berdasarkan titah daripada pihak istana. Antaranya termasuklah Adat Lembaga Orang-Orang Melayu Di Dalam Negeri Perak Darul Ridwan Daripada Zaman Purbakala yang diterbitkan pada tahun 1935 dan Undang-Undang Iskandar Scholarship Kerajaan Perak bagi Murid-Murid Sekolah Arab dan Quran Negeri Perak Darul Ridwan yang diterbitkan pada tahun 1939.\nKerancakan industri penerbitan dan percetakan di Taiping secara perlahan-lahan merosot setelah pentadbiran negeri Perak yang pada asalnya berpusat di Taiping berpindah ke Ipoh pada tahun 1937. Selepas berakhirnya Perang Dunia ke-2, seluruh aktiviti dan urusan yang melibatkan pentadbiran negeri berpindah ke Ipoh sepenuhnya. Secara tidak langsung, tumpuan perdagangan dan perniagaan tidak lagi terarah kepada Taiping, sebaliknya menghala ke Ipoh.\nBegitu juga dengan kematian ramai para tokoh ulama yang menyebabkan Al-Zainiyah Taiping tidak mempunyai banyak pilihan melainkan menerbitkan apa-apa sahaja jenis buku yang diharapkan dapat memberi pulangan bagi menampung kos operasi. Sebagai contoh, Al-Zainiyah Taiping pernah menerbitkan buku masakan yang berjudul Serbanika Idaman: Lebeh Dari 100 Masakan yang disusun oleh Halimah Haji Harun." "Semarak Bahasa Jiwa Bangsa di Kementerian Belia dan Sukan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Bersempena dengan sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) dan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) Sektor Sosial 2022, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Ensiklopedia dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menganjurkan Karnival Bahasa Jiwa Bangsa pada 27 hingga 29 September 2022 yang bertempat di Menara KBS, Putrajaya.\nDBK adalah gagasan bagi memastikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang menjadi pilihan utama rakyat Malaysia serta menjadi satu daripada bahasa utama dunia. DMK pula bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara membaca dalam tempoh masa 10 tahun, iaitu dari tahun 2020 hingga tahun 2030 dan seterusnya melahirkan masyarakat berilmu bertaraf dunia menjelang tahun 2030.\nPerasmian Karnival Bahasa Jiwa Bangsa ini disempurnakan oleh Dato\u2019 Jana Santhitan Muniayan, Ketua Setiausaha KBS. Turut hadir bagi menyerikan majlis perasmian karnival ini ialah Tuan Haji Abd. Halim Haji Harun, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP; Encik Richard Barahim, Setiausaha Bahagian (SUB) Bahagian Khidmat Pengurusan KBS dan Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP.\nAntara inti pati ucapan Dato\u2019 Jana Santhitan Muniayan adalah KBS sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab terhadap belia dan sukan di Malaysia akan terus memastikan bahasa kebangsaan terus dimartabatkan dan budaya membaca akan terus diterapkan kepada golongan sasar kementerian ini, iaitu golongan muda dan atlet. Beliau dan tetamu kenamaan yang hadir turut merasmikan pelepasan para peserta bagi Pertandingan Eksplorasi Bahasa di lobi Menara KBS.\nAntara pengisian Karnival Bahasa Jiwa Bangsa ini adalah pertandingan berkaitan pengetahuan bahasa dan budaya membaca serta program Bicara Santai. Sebanyak tiga pertandingan diadakan sepanjang tiga hari karnival ini berlangsung, iaitu Pertandingan Eksplorasi Bahasa, Pertandingan Pintar Eja dan Pertandingan Pengacaraan Majlis. Objektif utama pertandingan yang dianjurkan ini adalah bagi menerapkan semangat cinta terhadap bahasa kebangsaan dan menyemai amalan membaca, khususnya kepada warga KBS bertepatan dengan sambutan DBK dan DMK bagi tahun 2022 ini.\nDi samping itu, pertandingan ini diadakan bagi menguji tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan warga KBS serta mencungkil bakat baharu berkaitan bahasa, khususnya dalam bidang pengacaraan majlis. Sambutan yang menggalakkan daripada warga KBS serta agensi di bawahnya terhadap ketiga-tiga pertandingan yang dianjurkan membuktikan keazaman dan tekad kementerian ini untuk terus mendaulatkan bahasa Melayu.\nKarnival Bahasa Jiwa Bangsa turut disemarakkan lagi dengan program Santai Bahasa yang bertajuk Pengaruh Media Sosial: Terpinggirkah Bahasa Kita? yang menampilkan Dr. Mohd Ghazali Taib, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Institut Perguruan Kampus Bahasa Antarabangsa, Kuala Lumpur sebagai panel. Dalam program tersebut, Dr. Mohd Ghazali menjelaskan etika penggunaan bahasa sebagai perlambangan diri dalam media sosial serta ciri-ciri bahasa. Menurut Dr. Mohd Ghazali, bahasa berfungsi sebagai alat komunikasi, pemikiran dan pelarasan tingkah laku. Selain itu, pameran oleh Muzium Diraja dan DBP serta jualan buku oleh Ujana DBP turut berlangsung di ruang legar Menara KBS.\nKarnival Bahasa Jiwa Bangsa melabuhkan tirai dengan majlis penutupan dan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan. Encik Abdullah Hasan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS dalam ucapan penutup Karnival Bahasa Jiwa Bangsa menyeru masyarakat, khususnya warga KBS agar terus memberi sepenuh komitmen dalam memartabatkan bahasa kebangsaan. Beliau juga menasihati warga KBS agar menggunakan bahasa Melayu dengan laras bahasa yang betul dalam semua urusan rasmi seperti mesyuarat, penulisan surat serta memo rasmi. Tambah beliau lagi, penggunaan bahasa sama ada dalam penulisan mahupun pertuturan melambangkan imej diri dan organisasi yang diwakili.\nTurut hadir dalam majlis penutupan dan penyampaian hadiah tersebut ialah Tuan Haji Md Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP; Encik Richard Barahim, SUB Bahagian Khidmat Pengurusan KBS; Puan Wardati Md Sheriff, Ketua Bahagian Ensiklopedia DBP dan Encik Nik Aman Nik Yusoff, Ketua Pusat Dokumentasi Melayu DBP." "Bicara Karya dan Pelancaran Buku Mengapa Saya Tidak Ikut U-Wei Menonjolkan Karisma Industri Perfileman Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBandar Melaka \u00ad\u00ad\u2013 Majlis Bicara Karya dan Pelancaran Buku Mengapa Saya Tidak Ikut U-Wei bersempena dengan Pesta Buku Melaka telah berlangsung pada 30 September 2022 (Jumaat) pada pukul 2.30 petang hingga 5.00 petang di Pentas Utama, The Shore Shopping Gallery, Bandar Melaka, Melaka.\nMajlis anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar. Majlis tersebut turut diserikan dengan bicara karya yang menampilkan barisan panel yang terdiri daripada Encik Zuhir Haji Saari (U-Wei), pengarah filem dan Encik Mohd Shah Ibrahim selaku penulis buku Mengapa Saya Tidak Ikut U-Wei. Manakala moderator yang menjayakan bicara karya pula ialah Encik Ismail Ahmed (Adiwangsa Sukma).\nMenurut Pengarah Penerbitan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat dalam ucapan alu-aluannya, walaupun pelancaran buku ini dalam keadaan yang sederhana, namun karya buku Mengapa Saya Tidak Ikut U-Wei yang diterbitkan oleh DBP ini sangat istimewa bagi beliau kerana U-Wei merupakan seorang seniman yang prolifik dalam bidang perfileman di samping buku ini ditulis oleh sahabatnya yang sangat rapat.\nTambah beliau lagi, buku ini sesuatu yang sangat istimewa kerana apabila dibaca, masyarakat dapat menyingkap rahsia di sebalik isi yang tersurat dan tersirat dalam karya ini.\n\u201cSeorang penulis akan berasa gembira dan bangga apabila setiap karya yang dihasilkannya berjaya diterbitkan. Rentetan itu, penulis akan berasa puas apabila karya dan buku mereka dilancarkan dan dibaca oleh masyarakat,\u201d ujar Tuan Haji Razali.\nPengerusi Lembaga Pengelola YPBN, YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar dalam ucapan perasmiannya berkata, demi memartabatkan keagungan sejarah negara di persada dunia, beliau dalam perancangan untuk menjalinkan kerjasama dengan U-Wei, Syamsul Yusof yang juga seorang pengarah filem dan para tokoh ilmuwan sejarah tanah air untuk menghasilkan dan memperkasakan filem-filem berunsur patriotik serta menjulang warisan, budaya, tamadun dan peradaban Malaysia.\n\u201cBuku ini boleh dijadikan sebagai panduan dan bimbingan untuk para pengamal dan penggiat filem, peminat filem, para tokoh ilmuwan, generasi muda dan masyarakat untuk belajar dan mengetahui lebih lanjut tentang ilmu perfileman dan industri filem tanah air,\u201d ujar YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff.\nSementara itu, Encik Mohd Shah Ibrahim menjelaskan bahawa buku Mengapa Saya Tidak Ikut U-Wei merupakan himpunan anekdot pengalaman beliau mengenai satu-satunya sutradara yang rapat dengan beliau serta mengandungi serba sedikit tentang pengalamannya dalam dunia filem.\n\u201cSaya melihat U-Wei sebagai seorang\u00a0born director yang hidup untuk membikin filem dan bukan membikin filem untuk hidup. Pertama kali bertemu dengan beliau pada tahun 1988, sejak awal lagi saya dapat mengesan pemikiran seorang intelektual filem yang dimiliki U-Wei,\u201d kongsi Encik Mohd Shah Ibrahim.\nJelas U-Wei pula, kejayaan dan pencapaian beliau pada hari ini bukanlah hanya semata-mata usaha beliau seorang diri, sebaliknya dengan bantuan, sokongan dan dokongan rakan-rakan dan keluarga yang sentiasa memberikan semangat kepada beliau untuk terus berkarya dan menghasilkan pelbagai karya yang berkualiti demi memartabatkan industri filem negara.\nTurut hadir memeriahkan majlis ialah Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Encik Mohd Khair Ngadiron dan Ketua Editor Bahagian Buku Umum DBP, Encik M Azahari Edin. Selaku bahagian yang menangani penerbitan buku tersebut, Encik M Azahari berharap agar lebih banyak karya tentang dunia perfileman dapat diterbitkan untuk mengangkat karya dan filem yang menjadi klasifikasi penting industri kreatif Malaysia seterusnya menampilkan karisma mereka yang terlibat dalam dunia perfileman." "\u201cMalam P. Ramlee: Cinta & Lagunya\u201c Menyemarakkan Industri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPulau Pinang \u2013 Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diiringi Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah dan YAM Sharifah Farah Adriana berkenan berangkat menyaksikan Penang Exchange 2022: Theatrical Concert \u2013 Malam P. Ramlee: Cinta & Lagunya yang dipersembahkan oleh selebriti Arja Lee dan Farhan Azizan di Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.\nProgram yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kraf Malaysia yang dikenali sebagai Malaysia Craft Council (MCC) tersebut turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato\u2019 Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak, Toh Puan Dato\u2019 Seri Utama Khadijah Mohd Nor, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Azlinda Azman dan Presiden MCC, Nik Faiz Nik M. Amin.\nMCC merupakan sebuah pertubuhan yang diwujudkan demi memelihara dan memperkasakan industri kraf di Malaysia. Selain itu, MCC juga bertanggungjawab untuk mengetengahkan industri seni kraf Malaysia ke peringkat antarabangsa melalui beberapa pendekatan yang diusahakan oleh ahli pertubuhan yang kebanyakannya merupakan para penggiat kraf tempatan.\nDi samping itu, program tersebut turut mendapat jalinan kerjasama dengan pihak dari luar negara merangkumi British Council, Japan Foundation, dan US Embassy. Oleh itu, MCC melihat hal ini merupakan titik permulaan yang baik untuk mengangkat imej kraf tempatan ke peringkat antarabangsa. Tambahan lagi, program tersebut juga ialah satu daripada usaha untuk membantu memulihkan dan menyemarakkan semula industri pelancongan dan kebudayaan Malaysia." "Festival Kraf Borneo 2022 Menjulang Produk Komuniti Kraf Borneo\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu \u2013 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) menganjurkan Festival Kraf Borneo (FKB) 2022 selama 18 hari bermula dari 23 September hingga 10 Oktober 2022. FKB yang diadakan di 1Borneo Hypermall, Kota Kinabalu, Sabah boleh dikunjungi dari pukul 10 pagi hingga 10 malam sepanjang festival ini berlangsung.\nFKB 2022 merupakan penganjuran kali ketiga sejak mula dianjurkan pada tahun 2018 dan tahun 2019 yang bertujuan untuk memberi peluang kepada komuniti kraf Borneo memasarkan produk kraf tempatan secara terus kepada para pembeli. Bertemakan \u201cKraf Borneo Aspirasi Keluarga Malaysia\u201d, FBK 2022 mencerminkan kepelbagaian produk kraf Sabah dan Sarawak yang melengkapi aspirasi Keluarga Malaysia, iaitu melambangkan kepelbagaian kaum yang berada di Malaysia.\nFestival ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti jualan produk kraf etnik Sabah dan Sarawak, demonstrasi produk kraf, pameran produk kraf, interaktif kraf, persembahan kebudayaan, seminar dan bicara kraf, pameran MRCRAFTSHOPPE, sesi secara langsung jualan E-Kraf Bazar, pameran Jom Masuk Institut Kraf Negara (Kampus Satelit Sabah & Sarawak) dan Pertandingan Ratu FKB 2022.\nKetua Pengarah Kraftangan Malaysia, Puan \u2018Ainu Sham Haji Ramli hadir merasmikan festival tersebut. Menurut beliau, FKB 2022 dengan penyertaan seramai 58 orang usahawan kraf menyasarkan kutipan sebanyak RM400 000 dengan kehadiran pengunjung seramai 30 000 orang.\n\u201cWalaupun sasaran yang diletakkan itu kurang berbanding yang diperoleh pada tahun 2018, namun masih realistik berdasarkan keadaan semasa,\u201d kata Puan \u2018Ainu Sham dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.\nTambah beliau lagi, penganjuran festival ini pada tahun 2018 yang diadakan di Lintasan Deasoka dan di pusat beli-belah Suria Sabah pada tahun 2019 berjaya menjana nilai jualan sebanyak RM1.12 juta.\nMenurut Puan \u2018Ainu Sham, insentif baucar pembelian produk kraf Malaysia yang diumumkan oleh Menteri MOTAC, Dato\u2019 Seri Hajah Nancy Shukri baru-baru ini turut terpakai di setiap gerai jualan pada FKB 2022 kali ini.\n\u201cInsentif baucar tersebut menawarkan diskaun sebanyak RM30 bagi setiap pembelian produk kraf bernilai RM100 yang telah bermula dari 16 September 2022 bersempena sambutan Hari Malaysia,\u201d ujar Dato\u2019 Seri Hajah Nancy.\nSewaktu majlis perasmian tersebut berlangsung, turut diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada 12 rakan strategik yang terdiri daripada jabatan, agensi, kerajaan negeri dan pihak swasta yang sentiasa bersama-sama menyokong industri kraf negara." "Seni Kraf Tangan Melayu Seimbang antara Estetika dengan Etika \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGeorgetown \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa \u201cSeni kraf tangan Melayu sentiasa mementingkan keseimbangan antara nilai estetika dengan etika dalam setiap hasilan pertukangannya.\u201c Titah baginda, kesenian di alam Melayu amat mempertimbangkan aspek estetika dengan etika, iaitu antara keindahan dengan kebaikan. Sesuatu seni itu tidak hanya menumpukan keindahan semata-mata, sebaliknya sarat dengan kehalusan dan ketinggian falsafah Islam.\nDemikian titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat meluangkan masa melawat pameran seni kraf tangan bersempena dengan program Penang Exchange 2022 anjuran Pertubuhan Kraf Malaysia (MCC) yang diadakan di Think City Penang Gat Lebuh China pada petang semalam.\n\nKeberangkatan tiba baginda dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diiringi anakanda-anakanda baginda berdua, iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah, YAM Sharifah Farah Adriana dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra disambut oleh Presiden MCC, YM Nik Faiz Nik M. Amin dan ahli majlisnya, Encik Azharudin Ramli.\nBaginda seisi keluarga meluangkan masa lebih dua jam melawat sebahagian besar daripada 66 buah gerai pameran dan jualan seni kraf tangan dari seluruh Malaysia yang mengambil bahagian pada kali ini.\nPenang Exchange 2022 ialah program selama tiga hari yang berlangsung bermula 30 September sehingga 2 Oktober yang turut melibatkan pelbagai program menarik seperti kraf tangan, pameran dan persembahan kesenian bermatlamatkan untuk mempromosikan artisan tempatan melalui platfom pelancongan dan kebudayaan yang dilaksanakan di Think City Penang Gat Lebuh China dan juga Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia serta Penang Peranakan Mansion, Georgetown.\nPada akhir program, Tuanku Raja Muda menitahkan bahawa baginda mengambil inspirasi daripada kunjungan tersebut dan berharap agar lebih banyak hasil kerja artisan dari Perlis berjaya diketengahkan di peringkat kebangsaan malahan antarabangsa selepas ini.\nBaginda turut diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan telah mengadakan perbincangan awal dengan beberapa pihak yang turut serta dalam pameran tersebut bagi melihat prospek jalinan kerjasama strategik dengan pihak Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) pada masa hadapan." "Festival Ghazal Malaysia 2022 Mengangkat Kesenian Ghazal\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPulau Pinang \u2013 Ghazal merupakan satu kesenian tradisional masyarakat Melayu yang amat sinonim dengan rakyat negeri Johor. Walaupun begitu, tidak banyak yang mengetahui bahawa selain Johor, permainan muzik ghazal turut diamalkan di Pulau Pinang yang dikenali sebagai Ghazal Parti. Kedua-dua kesenian tradisional ini \u2013 Ghazal Melayu Johor dan Ghazal Parti \u2013 memiliki ciri-ciri tertentu dan keistimewaan yang tersendiri.\nBagi memperkenalkan warisan kesenian tradisional ini, telah berlangsung Festival Ghazal Malaysia 2022 pada 1 hingga 2 Oktober 2022 yang lalu di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang. Festival yang julung kali diadakan ini dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Pulau Pinang dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pulau Pinang, Yayasan Warisan Johor, Majlis Kebudayaan Negeri Johor dan Persatuan Ghazal Negeri Johor.\nTujuan utama festival ini diadakan adalah untuk memperkenalkan konsep \u201cGhazal Malaysia\u201c yang mengetengahkan dua seni persembahan muzik Melayu tradisional yang berada di lokasi berlainan, iaitu Ghazal Melayu Johor dari Selatan Semenanjung Malaysia dan Ghazal Parti dari sebelah Utara Semenanjung Malaysia. Ghazal Malaysia membawa masyarakat kepada satu penataran muzik yang mencerminkan dimensi seni budaya Melayu tradisional, seterusnya mewarnai dunia muzik Melayu tradisional hingga kini.\nFestival Ghazal Malaysia yang berlangsung selama dua hari itu sarat dengan pelbagai aktiviti kesenian ghazal, antaranya termasuklah segmen pameran, bual bicara, dan persembahan Ghazal Melayu Johor dan Ghazal Parti. Acara kemuncak festival itu berlangsung pada hari kedua, iaitu penganjuran \u201cKonsert Festival Ghazal Malaysia 2022\u201c yang menampilkan penyanyi legenda negara, Dato\u2019 Jamal Abdillah, sebagai penyanyi undangan." "Legasi Nyonya Tan Menepati Ramalan Bergelar Juara Dondang Sayang 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMelaka \u2013 Menyambung perjuangan Tokoh Seni Dondang Sayang, Nyonya Tan Abdullah, anakanda Allahyarhamah, iaitu Hairul Asraf Abu Hussain dan Hidayu Murni Abu Hussain yang dikenali sebagai kumpulan Legasi Nyonya Tan, menepati ramalan muncul sebagai Juara Pertandingan Akhir Dondang Sayang Negeri Melaka. Dua beradik ini membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM6000, trofi dan sijil penghargaan pada pertandingan akhir yang berlangsung di Auditorium Panggung Sari, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN), Ayer Keroh, Melaka semalam.\nPertandingan Dondang Sayang Negeri Melaka ini dianjurkan oleh MELAKAfm dan pasukan penerbitan RTM dengan kerjasama rakan strategik seperti Kerajaan Negeri Melaka, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), JKKN Melaka, dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Turut bekerjasama dalam menjayakan pertandingan ini adalah radio Klasik FM dan Nasional FM, Dataran Pahlawan Melaka Shopping Mall, Hotel Seri Malaysia dan Hotel Kobemas Melaka.\nSeramai empat pasangan telah bertanding bagi merebut kejuaraan. Naib Juara dimenangi kumpulan Ear Mon yang dibarisi Hamir Haziq Haminorddin dan Siti Nadia Zaini dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5000, trofi dan sijil penghargaan. Tempat ketiga dimiliki kumpulan Detaq yang diwakili Yasser Fikri Abu dan Shaidatul Nadira Shaharum dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3000 beserta trofi dan sijil penghargaan. Manakala kumpulan Nada Irama yang dibarisi Syaimaa Salleh dan Norsharfarina Mohd Fahmi dinobatkan sebagai pemenang tempat keempat dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2000, trofi dan sijil penghargaan.\nKeputusan pertandingan dibuat oleh barisan juri berpengalaman yang diketuai Encik Mohd Rusmadi Mohd Ramli, Pemuzik Kanan dan Pembimbing Orkestra RTM; Datuk Mohd Baharim Md. Sharip, Tokoh Dondang Sayang dan Tokoh Warisan Orang Hidup (WAKOH); Syed Indra Syed Omar (Siso), penulis lirik, karyawan seni dan penyanyi; Encik Muhamad Syukor Ibrahim, Dekan Fakulti Muzik ASWARA dan Puan Norliza Md Yamin, Tokoh Penggerak Budaya Negeri Melaka.\nHadiah pertandingan disampaikan oleh Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Tuan Ngwe Hee Sem yang mewakili Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka.\nPertandingan Akhir Dondang Sayang Negeri Melaka ini dikendalikan oleh DJ Fazz dan Aril Pilus sebagai pengacara. Antara artis undangan yang membuat persembahan ialah Ramlah Ram, Liza Hanim dan Haziq Rosebi. Siaran langsung acara ini ditayangkan pada saluran televisyen TV2 dan laman Facebook rasmi MELAKAfm.\nDondang Sayang adalah sejenis nyanyian yang popular dalam kalangan masyarakat Melayu dan Cina Peranakan di Melaka. Dondang bermaksud nyanyian, manakala Dondang Sayang membawa maksud nyanyian mengulit kasih.\nMelabuhkan tirai pertandingan, program seni budaya ini telah menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat untuk mengenali khazanah warisan Melaka sama ada yang menonton secara langsung atau menerusi kaca televisyen. Semoga program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk melestarikan pergerakan seni budaya dan persembahan.\nTurut hadir menyerikan majlis ialah tetamu kehormat seperti Dato\u2019 Haji Che Roslan Che Daud, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia; Tuan Haji Mesran Mohd Yusop, Ketua Pengarah JKKN; Puan Nor\u2019ain Haji Bakir, Pengarah Bahagian Program Radio; Encik Mohd Yusni Mohamed Ali, Pengarah Jabatan Penyiaran Melaka dan Cik Ezlina Alias, Pengarah JKKN Melaka." "\u201cPenang Exchange 2022: Dondang Sayang Soire\u00e9\u201c Meraikan Kepelbagaian Budaya Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGeorgetown \u2013\u00a0Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diiringi anakanda-anakanda baginda berdua, iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah dan YAM Sharifah Farah Adriana berkenan menghadiri Penang Exchange 2022: Dondang Sayang Soire\u00e9 yang diadakan di Pinang Peranakan Mansion, Georgetown, Pulau Pinang.\nDalam majlis tersebut, Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda mengurniakan anugerah berupa trofi dan sijil kepada tujuh orang pengiat kraf di Pulau Pinang. Mereka ialah Haja Mohidien Mohd Sharif (songkok), Tong Poh Keng @ Madam Lilian Tong (kasut manik), Anuar Sha\u2019ari (replika feri), Dr. Shamsu Mohamad (pasu hiasan dan bekas lilin), Khairiyah Ghazali (kebaya nyonya dan sarung bantal), Lee Tiek Chye (ukiran papan tanda tradisional) dan Che Mat Jusoh (pembuat/pemain alat muzik).\nPara tetamu wanita hadir dengan memakai busana tradisional masyarakat peranakan. Majlis dimulakan dengan persembahan pembukaan menerusi tarian Dondang Sayang. Di samping itu, para tetamu dihiburkan dengan persembahan daripada selebriti Arja Lee dan Farhan Azizan serta pengacara dan pelawak popular kelahiran Perlis, iaitu Dee.\nPertunjukan fesyen istimewa \u201cKoleksi Khatreena\u201d oleh YAM Sharifah Khatreena Nuraniah di Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2022 baru-baru ini turut diperagakan dalam majlis tersebut.\nPertubuhan Kraf Malaysia (MCC) selaku penganjur program Penang Exchange 2022 menyasarkan golongan artisan yang terkesan akibat pandemik global COVID-19 serta merancang untuk mengembangkan lagi program tersebut ke peringkat antarabangsa.\n\u201cSambutan masyarakat terhadap Kelantan Exchange 2020 & 2021 yang memberangsangkan pada dua tahun yang lalu menyakinkan pihaknya untuk menjadikan program ini sebagai satu produk tahunan eksklusif MCC yang mengetengahkan para artisan untuk terus berkarya dan mempromosikan hasil kraf serta seni kebudayaan ke peringkat antarabangsa dengan pakej yang lebih inklusif,\u201d ujar Presiden MCC, Nik Faiz Nik M. Amin.\nBeliau turut berkata, konsep tersebut diharap akan dapat memberi nafas baharu dan sokongan padu kepada golongan artisan untuk terus memperkasa, memelihara dan mengetengahkan khazanah seni, kraf dan budaya negara ke persada dunia.\nTurut hadir bagi memeriahkan majlis ialah Pengarah Tourism Malaysia (Wilayah Utara), Shahrul Amal Sabil Ahmad." "Bahasa Melayu Perlu Bersepadu dengan Teknologi Digital\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nBANGI \u2212 Perkembangan teknologi maklumat telah meledakkan perubahan yang drastik terhadap kehidupan manusia yang turut mencakupi isu semasa. Antara sumbangan besar teknologi maklumat termasuklah dalam pemprosesan data dan penggunaan data komputer serta perisiannya yang dapat mengubah, menyimpan, melindungi, memindahkan, memproses serta mendapatkan maklumat tanpa batasan waktu dan tempat.\nPenerbitan bahan berbahasa Melayu juga kini banyak dihasilkan dalam bentuk digital walaupun bentuk bercetak atau konvensional masih tetap diperlukan. Buku dan majalah digital kini mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kerana sifatnya yang lebih praktis dan mudah dicapai serta diakses.\nKemunculan fasa pemodenan teknologi digital turut mempengaruhi perkembangan penggunaan bahasa Melayu dalam masyarakat. Contohnya, penggunaan bahasa Melayu dalam SMS, Facebook, WhatsApp, Telegram, Instagram dan ruang media sosial lain yang sedikit banyak menjejaskan mutu bahasa Melayu yang betul dan baku. Bentuk bahasa Melayu formal nampaknya banyak diatasi oleh penggunaan bahasa Melayu \u201cbasahan\u201d yang kini banyak dihadapi dalam perkembangan teknologi maklumat.\nHakikatnya dikhuatiri bahawa ancaman teknologi digital terhadap kedaulatan bahasa Melayu (penggunaan bahasa asing atau bahasa yang bercampur baur telah mengatasi penggunaan bahasa Melayu). Namun begitu, isu ini perlu ditangani dengan proaktif dan secara positif kerana tiada kuasa khas untuk menghalang penggunaan bahasa oleh masyarakat. Oleh itu, masyarakat harus memanfaatkan pelbagai ruang media sosial yang ada pada masa ini dengan mengimbangi penggunaan bahasa Melayu secara betul dan tertib. Bahasa Melayu juga perlu bersepadu dengan teknologi bagi mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.\nSehubungan dengan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi dengan kerjasama Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) telah menganjurkan Kolokium Teknologi dan Aplikasi Bahasa yang bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan 2021 (peringkat pertubuhan bukan kerajaan).\nKolokium ini diadakan untuk menghimpunkan sepasukan sarjana bagi memahami dan membincangkan revolusi teknologi maklumat, sama ada memperkasakan atau memusnahkan sesuatu bahasa, memperoleh maklumat tentang kaedah untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam era revolusi maklumat dan memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang perkembangan bahasa Melayu pada era kini dalam bidang teknologi. Di samping itu, kolokium ini juga dirancang atas sebab rasa kecintaan terhadap bahasa dan sastera kebangsaan, pemerkasaan budaya, serta pemartabatan tulisan Jawi, khususnya dalam kalangan generasi muda.\nSemoga program ini dapat meningkatkan rasa kecintaan, kemegahan dan kebanggaan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan bahasa rasmi negara, selain dapat mengukuhkan jalinan kerjasama antara DBP dengan PLM dalam program kebahasaan dan kesusasteraan serta dapat memupuk jati diri dan citra bangsa Malaysia melalui bahasa dan sastera kebangsaan.\n\u201cBahasa Melayu sebagai bahasa ilmu perlu dipersiapkan dengan segala keperluannya agar mampu menggalas tanggungjawab sebagai bahasa ilmu khususnya ilmu peringkat tinggi. Selain itu, bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu juga perlu didaulatkan melalui penggunaan teknologi yang luas, bukan sekadar didaulatkan dalam konteks penjelmaan, manifestasi ataupun perasaan yang meskipun penting tetapi mesti dibantu dengan pengisian dalam bentuk yang tampak atau ketara khususnya dalam bentuk penerbitan digital atau elektronik.\u201d\nDemikianlah antara penerangan menarik oleh Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, selaku Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, ketika merasmikan\u00a0 Kolokium Teknologi dan Aplikasi Bahasa: Bahasa Melayu dalam Era Teknologi Digital menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP menerusi aplikasi Zoom pada pukul 9.00 pagi tadi.\nSementara itu, ucap utama kolokium tersebut pula telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Mohd Juzaiddin Ab Aziz daripada Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan judul \u201cPemprosesan Bahasa dalam Era Digital: Masa untuk Menyemai benih atau Menuai Hasil?\u201d\nPanel lain yang turut serta menjayakan program ialah Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir, Penyelidik Bersekutu Pusat dialog Peradaban, Universiti Malaya; Dr. Suhailan Safei (Pensyarah Kanan), Universiti Sultan Zainal Abidin; Dr. Tan Tien Ping (Pensyarah Kanan), Universiti Sains Malaysia (USM); Encik Mohd Fadzli Tajuid (Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi), DBP; Tuan Haji Kamaruzaman Jahidin, Exco Persatuan Animasi Malaysia (Biro Teknologi), Persatuan Animasi Malaysia; YBhg. Profesor Dr. Nor Hashimah Jalaluddin, selaku Profesor UKM; Profesor Madya Ts. Dr. Fatma Susilawati Mohamad, Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE), Universiti Sultan Zainal Abidin; YBhg. Prof. Madya Ts. Dr. Azman Ta\u2019a, Profesor Madya dari Universiti Utara Malaysia; Profesor Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul, Timbalan\u00a0 Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Malaysia Sabah; Profesor Madya Dr. Azizol Abdullah, Profesor Madya dari Universiti Putra Malaysia dan Puan Salina Ibrahim (Zack Kirana), iaitu pempengaruh bahasa Melayu." "Sejarah Melaka Menjulang Keagungan Empayar Melaka\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBandar Melaka \u2013 Dialog Persuratan Selatan: Membaca Sejarah Menjejak Ibrah sempena Pesta Buku Melaka telah berlangsung pada 2 Oktober 2022 (Ahad), pukul 2.00 petang hingga 3.30 petang di The Shore Shopping Gallery, Pengkalan Rama, Melaka.\nDialog yang bertujuan untuk mengupas buku Sejarah Melaka (Edisi Semakan) yang ditulis oleh Buyong Adil dengan mempunyai 106 halaman menampilkan barisan panel yang terdiri daripada Profesor Madya Dr. Mohd Samsudin, Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hubungan Antarabangsa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Muhammad Faiq Shaf\u2019ii, usahawan dan penulis bebas dalam bidang geopolitik dan pertahanan. Manakala Hafiz Latiff pula berperanan selaku moderator.\nMenurut Profesor Madya Dr. Mohd Samsudin, buku Sejarah Melaka hasil karya Allahyarham Buyong Adil mempunyai asas penulisan sejarah ringkas dan disusun mengikut negeri-negeri di negara ini. Justeru, buku tersebut amat bagus untuk dijadikan panduan dan rujukan sebagai permulaan pengenalan mengenai sejarah negeri, terutamanya kepada kanak-kanak yang berada pada peringkat sekolah rendah.\n\u201cBuku Sejarah Melaka hasil karangan Allahyarham Cikgu Buyong (Buyong Adil) ini sangat baik kerana bahasa yang digunakan amat mudah untuk difahami oleh kanak-kanak.\nSehubungan dengan itu, saya mencadangkan agar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dapat menjelajah di setiap negeri bagi mempromosikan buku ini kerana buku ini mempunyai kisah setiap komponen negeri di Malaysia termasuklah Sabah dan Sarawak. Hal ini secara tidak langsung membawa DBP mendekati masyarakat,\u201d ujar Profesor Madya Dr. Mohd.\nTambah beliau lagi, penganjuran program jelajah untuk memperkenalkan keagungan buku Sejarah Melaka dengan kerjasama pihak jabatan pendidikan negeri atau perpustakaan awam negeri dapat menarik minat masyarakat untuk membaca dan mengetahui tentang sejarah awal negeri mereka.\nSementara itu, Faiq Shaf\u2019ii pula berkata, buku Sejarah Melaka turut mengisahkan tentang sejarah Kerajaan Melayu secara lengkap serta sejarah Kesultanan Melaka sejak mula diasaskan oleh Parameswara sehinggalah Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511.\n\u201cSegala peristiwa penting yang berlaku dalam masa lebih satu abad terakam dalam sejarah kerajaan Melayu yang teragung ini. Di samping itu, buku ini turut mencatatkan sejarah Melaka yang diperintah oleh sultan yang pertama sehingga sultan yang keenam, iaitu pemerintahan Parameswara, Sultan Megat Iskandar Syah, Seri Maharaja (Raja Tengah) atau Sultan Muhammad Syah, Sultan Abu Syahid, Sultan Mudzaffar Syah dan Sultan Mansur Syah,\u201d kata Faiq Shaf\u2019ii.\nTurut hadir memeriahkan majlis dialog yang berlangsung ialah Pengarah DBP Wilayah Selatan, Mohd Riduwan Wahab." "Kesenian Ghazal Perlu Diselamatkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPulau Pinang \u2013 Bersempena dengan penganjuran Festival Ghazal Malaysia 2022 pada 1 hingga 2 Oktober 2022 yang lalu, telah berlangsungnya program Bual Bicara Ghazal Malaysia yang berlangsung di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang. Program tersebut membincangkan perkembangan ghazal pada masa ini sebagai warisan seni persembahan muzik Melayu tradisional dan pembentukan genre \u201cGhazal Malaysia\u201c.\nPanel yang terlibat dalam program tersebut ialah Dato\u2019 Dr. Sohaimi Abdul Aziz, Presiden Persatuan Karyawan Pulau Pinang merangkap Pengerusi Festival Ghazal Malaysia 2022 dan Mohd Rozaidy Shukry, Naib Pengerusi Persatuan Ghazal Johor Malaysia. Program bual bicara ini dikendalikan oleh Profesor Madya Dr. A. S. Hardy Shafii sebagai moderator. Program bual bicara yang berlangsung selama dua jam itu dibahagikan kepada tiga segmen, iaitu membicarakan tentang Ghazal Parti, seterusnya pengenalan Ghazal Johor Malaysia, dan akhir sekali sesi soal jawab.\nMenurut Dato\u2019 Dr. Sohaimi, pada realitinya, ghazal sememangnya wajar dikaitkan sebagai seni muzik yang lama, memandangkan seni muzik tradisional ini memiliki sejarah yang cukup lama. Ghazal dipercayai wujud pada tahun ketujuh Masihi yang berasal dari Timur Tengah, seterusnya berkembang ke Iran dan Asia Selatan disebabkan oleh aktiviti perdagangan dan penaklukan.\n\u201cGhazal yang asal ialah \u2018puisi nasib\u2019, iaitu puisi tentang kesedihan. Hal ini disebabkan oleh orang Arab pada waktu dahulu sering mengembara dan perlu meninggalkan keluarga dalam tempoh yang lama. Puisi ini bertujuan untuk mengenang orang yang ditinggalkan,\u201c kata Dato\u2019 Dr. Sohaimi.\nTambah beliau, setibanya ghazal di Tanah Melayu, bentuk muziknya berpecah kepada dua aliran, iaitu di Selatan Semenanjung yang mendapat pengaruh dari India, dan di Utara yang mendapat pengaruh dari Timur Tengah. Ghazal di Utara Semenanjung kemudiannya berevolusi dengan melibatkan himpunan pemuzik, penari, pelawak, penyanyi dan penonton di atas pentas sehingga akhirnya dikenali sebagai Ghazal Parti.\n\u201cGhazal Parti yang dahulunya sangat terkenal di Pulau Pinang, kini semakin malap disebabkan oleh tiada mekanisme untuk mempertahankannya. Kepudaran ini disebabkan oleh ketiadaan pelapis dan dana untuk mempromosikannya. Hal ini berbeza pula dengan Ghazal Melayu Johor yang mendapat sokongan daripada pelbagai pihak, dan membuatkannya lebih menonjol berbanding dengan Ghazal Parti,\u201c kata Dato\u2019 Dr. Sohaimi.\nMohd Rozaidy, yang juga merupakan penggiat Ghazal Melayu Johor, berasa bersyukur kerana terdapat banyak sokongan, terutamanya daripada pihak Istana Johor, dalam setiap kegiatan ghazal di negeri itu. Hal ini secara tidak langsung menjadikan Ghazal Melayu Johor kekal diingati dan diminati oleh pelbagai lapisan masyarakat di Johor.\n\u201cPara pembesar Johor terdahulu mewajibkan orang kampung untuk belajar dan bermain ghazal. Bahkan, sejak tahun 1940-an, pertandingan ghazal sering diadakan untuk mencungkil bakat baharu. Ghazal Melayu Johor juga memiliki silibus yang dicipta oleh Pak Lomak. Namun begitu, pada tahun 1960-an, Ghazal Melayu Johor mengalami zaman kejatuhan apabila semakin dilupakan, sebelum diselamatkan oleh Yayasan Warisan Johor,\u201c kata Mohd Rozaidy.\nKira-kira 50 orang tetamu yang hadir menyaksikan program Bual Bicara Festival Malaysia yang terdiri daripada para penggiat ghazal, penyelidik, ahli akademi dan pelajar." "Persenjataan Alam Melayu Bukti Kearifan Tempatan Unggul\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cKebanggaan kita akan kewujudan puluhan ribu manuskrip lama tidak patut terbatas hanya pada rasa kebanggaan akan jumlah tersebut sahaja, di mana warisan itu telah bertebaran di seluruh dunia. Kebanggaan itu hanya menimbulkan satu nostalgia tetapi kurang bererti kerana sebahagian besar masyarakat kita tidak dapat menghayati apakah yang terkandung dalam manuskrip Melayu yang hebat itu. Perlunya satu daya tarik untuk masyarakat menghayati dan memanfaatkan kandungan manuskrip lama itu\u201c\nDemikian kata-kata YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semasa menyampaikan ucapan perasmian sempena program Wacana Etnosains dan Teknologi Siri 2: Persenjataan Alam Melayu yang diadakan di Sudut Karyawan, Stor Teater, Wisma DBP, pagi ini. Wacana ini yang bertemakan \u201cMembongkar Kearifan Tempatan Persenjataan Alam Melayu\u201d merupakan sebuah program anjuran Pusat Dokumentasi Melayu, DBP.\nMajlis seumpama ini sangat penting dalam kita mengangkat kearifan tempatan yang kita uar-uarkan sebagai satu sumbangan besar kepada pembangunan tamadun kita sendiri dan juga sumbangan besar kepada proses memperkenalkan hasil kearifan tempatan kita kepada dunia luar.\nDi samping meningkatkan keyakinan diri semangat patriotisme baharu dalam kalangan bangsa, wacana ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memahami dan mengkaji bidang etnosains dan teknologi Alam Melayu berdasarkan kepustakaan Melayu serta mengenal pasti peluang untuk memperluaskan ilmu etnosains dan teknologi alam Melayu merentas pelosok Nusantara.\nSeramai tiga orang pembicara hebat telah dijemput bagi membentangkan isu berkaitan bidang persenjataan alam Melayu, iaitu Profesor Dr. Muhammad Mustaqim Mohd. Zarif, Profesor Pengajian Islam dan manuskrip Melayu di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); Dr. Mohd Hasanuddin Mohd Yusof, Pengasas Maktab Penyelidikan Tamadun Alam Melayu dan Islam (MAPTAMI) dan Encik Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah, pengkaji sejarah dan manuskrip Melayu yang juga merupakan penulis buku Senjata Api Alam Melayu terbitan DBP serta Puan Rabiahtuladawiyah Md. Salleh sebagai moderator.\nMelalui sesi wacana ini, Profesor Dr. Muhammad Mustaqim berkongsi tentang kurangnya penggunaan manuskrip Melayu yang digunakan dalam kajian mengenai persenjataan Alam Melayu. Beliau turut menegaskan pentingnya penggunaan manuskrip Melayu sebagai sumber primer seiring dengan sumber lain bagi membentuk satu naratif dan dikembangkan bukan setakat bidang filologi, bahkan merentas ilmu lain.\nIlmu besi melalui seni pembuatan keris menerusi manuskrip Melayu juga telah dibentangkan oleh Dr. Mohd Hasanuddin yang menunjukkan bahawa seni pembuatan keris sebagai bukti kearifan tempatan yang unggul. Beliau berkongsi tentang bagaimana keris bukan sahaja digunakan sebagai senjata, malah menunjukkan identiti dalam tatacara pemakaian orang Melayu zaman dahulu.\n\u00a0\nMelalui pembentangan yang ketiga, Encik Wan Mohd Dasuki membicarakan tentang pemikiran orang Melayu tentang persenjataan khususnya senjata api. Tegas beliau, di sebalik usaha dalam pendokumentasian tentang senjata Melayu, implementasi tentang penggunaan senjata api juga penting dalam memahami teknologi persenjataan dengan lebih baik kerana sering timbul percanggahan ketika memahami istilah kerana tafsiran yang diberikan dalam bidang persenjataan.\nWacana ini berjaya menampilkan perkongsian bahawa kearifan tempatan dalam bidang persenjataan alam Melayu dapat diteroka melalui manuskrip Melayu, sekali gus memberikan kesedaran kepada generasi masa kini bahawa ketamadunan Melayu memiliki ilmu sains dan teknologi yang hebat mengatasi teknologi Eropah pada zaman dahulu.\nTurut hadir dalam program ini ialah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Dr. Wan Hazami Wan Juhari serta Ketua Pusat Dokumentasi Melayu, Encik Nik Aman Nik Yusoff." "\u201cProjek Kebudayaan ASEAN 2022 Sarong Diplomasi\u201d Menonjolkan Budaya Sarung\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Projek Kebudayaan ASEAN 2022 Sarong Diplomasi yang bertemakan \u201cPerpaduan dalam Kepelbagaian Budaya\u201d telah berlangsung selama lima hari bermula dari 2 hingga 6 Oktober 2022 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur. Majlis perasmian penutupan program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui agensinya, Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).\nMenteri MOTAC, YB Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Haji Shukri hadir merasmikan majlis penutupan tersebut pada Majlis Malam Gemala yang berlangsung dengan penuh meriah semalam. Beliau berkata, Sarong Diplomasi merujuk kepada budaya pakaian sepuluh negara ASEAN serta platform untuk mewujudkan rangkaian pengalaman baharu, bakat dan kerjasama pembangunan.\n\u201cSebagai satu daripada komponen kebudayaan, pendekatan \u2018sarong\u2019 diketengahkan bagi meningkatkan pemahaman dan menghormati warisan yang kaya di rantau ASEAN dan masyarakatnya,\u201d ujar Dato\u2019 Sri Hajah Nancy dalam ucapan perasmian penutupan program tersebut.\nTambah beliau lagi, tema program tersebut juga menggambarkan keharmonian yang dikongsi bersama dengan masyarakat walaupun kain sarung setiap negara ASEAN mempunyai identitinya yang tersendiri sama ada dari segi warna, motif dan gaya coraknya.\n\u201cSelain mengekalkan warisan budaya, program ini juga memberi banyak peluang kepada delegasi ASEAN yang terdiri daripada pelajar, pakar dan profesional untuk menjalin kerjasama strategik atas kepentingan bersama dalam industri seni,\u201d kata Dato\u2019 Sri Hajah Nancy.\nProjek Kebudayaan ASEAN 2022 Sarong Diplomasi: Unity in Cultural Diversity menampilkan pelbagai aktiviti berkaitan busana sarung dalam konteks diplomasi budaya, nilai estetika dalam karya seni, simbolisme dalam seni persembahan, seni visual, dan dalam karya seni terkenal dari sepuluh buah negara ASEAN. Bahkan, dua karya baharu dapat dihasilkan dengan penggabungan unsur seni gerak tari dan muzik melalui program kebudayaan ini.\nProjek kebudayaan ini juga menonjolkan budaya busana sarung sebagai perkongsian nilai identiti ASEAN yang sama serta sumbangan nilai positif kepada perpaduan dan penyatuan negara-negara ASEAN yang lebih kukuh dan harmoni.\nTurut hadir pada majlis Malam Gala tersebut ialah Rektor ASWARA, Profesor Ts. Dr. Ruslan Abdul Rahim dan Pengarah MaTiC, Rudy Irwan Shukaimee.\nMajlis penutupan dan Malam Gala Projek Kebudayaan ASEAN 2022 Sarong Diplomasi boleh ditonton secara dalam talian melalui laman Facebook ASWARA, https://www.facebook.com/aswara.edu/videos/2004578719729149." "Teater Nyonya Papar Kisah Nilai Kerusi Antik dan Harta Pusaka\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Majlis Sidang Media teater Nyonya telah diadakan pada 6 Oktober 2022 (Khamis) pada pukul 2.30 petang di Balai Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Teater Nyonya akan dipentaskan pada 15 dan 16 Oktober 2022 di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan, Pahang dengan harga tiket RM30 dan RM50.\nPementasan teater Nyonya merupakan pementasan kali kesembilan yang dianjurkan oleh Gagasan Anak Seni (GAS), CTRA Production & Ardi Bridal dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang, Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negeri (JKKN) Pahang serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).\nNyonya mengisahkan seorang wanita kaya yang digelar Nyonya harus \u201cberperang\u201d dengan Tuan, iaitu seorang pedagang barang antik yang mempunyai pelbagai muslihat. Tuan berkali-kali berkunjung ke rumah Nyonya. Pelbagai cara dan muslihat digunakan untuk mendekati Nyonya, lebih-lebih lagi selepas mendapat tahu suami Nyonya yang sudah tua terlantar di hospital akibat penyakit kanser lidah.\nMuslihat terakhir Tuan adalah mengatakan lutut Nyonya akan membengkak dan berdarah jika Nyonya terus berdiri. Lalu dia mahu Nyonya duduk dan berbaring bersama-samanya di atas katil. Pada masa yang sama, Nyonya sering didatangi tiga anak saudara perempuan sebelah suaminya, iaitu Anggun, Beautiful dan Cantik yang ingin menuntut harta pusaka.\nMereka menggunakan pelbagai helah untuk mendapatkan harta berkenaan sehingga mahu saling berbunuhan. Pada masa yang sama, perangai Tuan yang banyak muslihat itu mula dikesan dan disedari oleh isterinya, Comel.\n\u201cKami pilih hotel sebagai lokasi pementasan teater bagi memberi sedikit kelainan pada teater ini. Tambahan pula, ruangan hotel boleh memuatkan seramai 700 orang penonton. Kami menjangkakan seramai 2800 penonton akan hadir menyaksikan teater ini memandangkan harga tiketnya yang mampu milik dan selesa,\u201d kata Siti Rohaya Atan selaku penerbit teater Nyonya.\nTeater Nyonya mendapat sentuhan Dr. Rosminah Tahir sebagai pengarah, Siti Rohaya Atan sebagai penerbit, dan dinaungi oleh Dato\u2019 Sri Hajah Shahniza Shamsuddin selaku Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang.\nManakala koreografer teater ini ialah A. Aris A. Kadir dan penulis skrip ialah Allahyarham Profesor Wisran Hadi. Antara para pelakon yang membintangi teater Nyonya ini ialah Zera Hariz, Eyzendy Aziz, Liza Abdullah, Vanidah Imran, Ziela Jalil dan Deera Amin." "Malaysia Mendapat Pengiktirafan Antarabangsa dalam Anugerah Emas PATA 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Malaysia sekali lagi berjaya meraih Anugerah Emas Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) 2022 bagi tiga kategori daripada 26 kategori Anugerah Emas, iaitu kategori Foto Kembara, Video Kembara dan Budaya. Majlis anugerah tersebut telah berlangsung secara dalam talian dan para pemenang berpeluang untuk diiktiraf di atas pentas pada Sidang Kemuncak Tahunan PATA di Ras Al Khaimah, Emiriah Arab Bersatu. Pencapaian pemenang turut disiarkan ke seluruh dunia melalui saluran YouTube PATA.\nTourism Malaysia berjaya memenangi Anugerah Emas Fotografi Kembara melalui penyertaan gambar menarik seorang lelaki menerbangkan wau yang merupakan layang-layang tradisional Malaysia di tepi pantai Terengganu. Gambar memukau tersebut bukan sahaja menonjolkan keunikan kraf wau tetapi juga membolehkan masyarakat umum melihat cara-cara wau dimainkan. Gambar yang memenangi anugerah ini juga membuktikan masih banyak orang di Malaysia terutamanya di negeri Kelantan dan Terengganu yang bermain wau, khususnya semasa musim menuai.\nDi samping itu, Lembaga Pelancongan Sarawak (LPS) pula berjaya menggodol dua Anugerah Emas, iaitu bagi kategori Video dan Budaya. Video promosinya yang bertajuk \u201cA Journey Awaits\u201c oleh Faithworks Studios berjaya memenangi Anugerah Emas Video Perjalanan. Video yang berdurasi lebih kurang tiga minit tersebut menyeru dan menjemput para pengembara dari seluruh pelosok dunia untuk berkunjung ke Sarawak melalui gambaran keindahan, budaya, warisan dan keajaiban alam semula jadi yang terdapat di negeri tersebut. Video penuh yang memenangi anugerah tersebut boleh ditonton melalui https://www.youtube.com/watch?v=S6Sj9WkBgEI.\nFestival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2021 yang turut dianjurkan oleh LPS turut memenangi Anugerah Emas Budaya dalam Anugerah Emas PATA 2022. Sentuhan kreatif RWMF 2021 membolehkan para pencinta muzik menikmati festival tersebut dengan santai secara dalam talian melalui pelbagai platform semasa Malaysia masih berada dalam era pandemik COVID-19. Festival yang berlangsung selama tiga hari tersebut membawa muzik dan budaya tradisional Sarawak secara maya tanpa caj bayaran masuk dan boleh dinikmati oleh semua pencinta muzik.\nBagi melihat senarai penuh para pemenang Anugerah Emas PATA 2022, para pembaca boleh melayari https://www.pata.org/pata-gold-awards." "PERZIM dan UTM Jalin Kerjasama Sinergi Pulihara Bangunan Bersejarah di Melaka\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMelaka \u2013 Dalam usaha memelihara dan memulihara bangunan peninggalan sejarah di negeri ini, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) mengambil langkah proaktif mengadakan kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).\nMenurut Pengerusi Lembaga Pengarah PERZIM, Datuk Akramuddin Ab Aziz, antara objektif kerjasama sinergi itu diadakan adalah bagi menjalinkan kerjasama dalam kerja-kerja penyelidikan warisan, membina landasan ilmu warisan dan kemanusiaan melalui penganjuran wacana ilmu serta penerbitan-penerbitan ilmiah dan mencetus inovasi baharu melalui perkongsian teknologi daripada pelbagai bidang.\nTurut dipersetujui menerusi kolaborasi strategik itu adalah kerjasama dalam melaksanakan projek Pelestarian Citra Kemasyhuran Warisan Negeri Melaka menerusi rangkaian Augmented Reality (AR), pemetaan tiga dimensi (3D) dan fotogrametri, menangkap pengeluaran semula artifak di dalam muzium serta struktur sejarah dan tapak yang sangat tepat.\nJelas beliau lagi, penggunaan kaedah teknologi baharu tersebut dapat mempromosikan industri pelancongan kreatif mengikut peredaran teknologi terkini serta menarik minat orang ramai untuk berkunjung ke muzium.\n\u201cMenerusi kerjasama sinergi ini, saya telah meminta pihak UTM, khususnya Fakulti Alam Bina dan Ukur untuk mengadakan lukisan terukur ke atas bangunan-bangunan sejarah di Melaka terutamanya di sekitar Banda Hilir. Selain itu, kami juga telah meminta pihak UTM mewujudkan dua atau tiga pasukan untuk mengadakan lukisan terukur kepada bangunan-bangunan sejarah di Melaka agar dokumen ini dapat disimpan dan menjadi rujukan dari semasa ke semasa serta dipamerkan kepada generasi akan datang,\u201d katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kolaborasi Strategik antara PERZIM dengan UTM di Pejabat PERZIM.\nMajlis menandatangani kolaborasi strategik itu disempurnakan oleh Pengurus Besar PERZIM, Dr. Mohd Nasruddin Rahman dan Pengarah Program Seni Bina, Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM, Profesor Madya Dr. Alice Sabrina Ismail.\nMenurut Datuk Akramuddin, beliau turut meminta pihak fakulti memfokuskan kepada kompleks sejarah terlebih dahulu kerana di situ terdapat banyak bangunan sejarah tinggalan penjajah Belanda yang harus dikekalkan keasliannya dan ada bangunan lama di situ yang tiada lukisan terukur.\n\u201cApabila berlaku sesuatu perkara yang tidak boleh dijangka, lukisan terukur boleh dijadikan rujukan untuk membangunkannya semula. Kolaborasi yang dimeterai ini bukan sahaja terikat untuk menjalankan lukisan terukur tetapi membabitkan perkongsian dan pertukaran ilmu yang ada daripada pihak UTM dan PERZIM. Menerusi ilmu-ilmu yang ada pada pihak UTM, mereka berkongsi bersama-sama PERZIM untuk membolehkan kita melakukan penambahbaikan. Malah PERZIM juga sentiasa bersedia sekiranya ada pelajar UTM yang ingin menjalani latihan praktikal di sini,\u201d kata Datuk Akramuddin.\nDatuk Akramuddin berharap, pelaksanaan kolaborasi itu dapat memberi manfaat kepada pengunjung dan masyarakat, seterusnya menjadikan PERZIM sebagai sebuah institusi pemuziuman yang berdaya saing, maju serta setaraf dengan muzium luar negara." "Teater Tok Janggut dalam Dikir Barat Mengenang Jasa dan Pengorbanan Pejuang Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Porcupine Production Sdn. Bhd. telah menganjurkan Pementasan Teater Tok Janggut dalam Dikir Barat dalam Rancangan Citra Seni DBP yang boleh ditonton menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada 12 Oktober (Rabu) hingga 13 Oktober 2022 (Khamis) pada pukul 8.30 malam. Pementasan teater tersebut diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP dan merupakan sebuah karya arahan Sabri Yunus. Teater ini menampilkan barisan artis tempatan seperti Issey Fazlisham, Sabri Yunus, Arip Sukmasari dan ramai lagi dengan iringan dikir barat oleh Akademi Arjuna Sukma.\nPerasmian Teater Tok Janggut dalam Dikir Barat ini disempurnakan oleh Tengku Temenggung Kelantan, Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato\u2019 Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan turut dihadiri oleh Tengku Puan Temenggung Kelantan, Yang Berhormat Mulia Tengku Puan Sri Dato\u2019 Tunku Noor Hayati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Dr. Awang Sariyan; Ahli Lembaga Pengelola DBP, iaitu Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad (yang juga merupakan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja) dan Tan Sri Dato\u2019 Sri Hamad Kama Piah Che Othman (yang juga merangkap Pengerusi Kumpulan UMW Holdings Berhad); dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Salehuddin Abg. Shokeran.\nPementasan teater ini diadakan bagi mengenang semula jasa, perjuangan dan pengorbanan tokoh pahlawan Kelantan di Tanah Melayu, iaitu Tuan Guru Hasan bin Panglima Mat Munas (Tok Janggut) dalam mempertahankan tanah air daripada penjajahan British. Beliau terkorban dalam Perang Tok Janggut di Kelantan ketika menentang penguatkuasaan cukai oleh pihak British.\nMenurut sejarah, selepas termeterai Perjanjian Inggeris-Siam pada tahun 1909, pihak British telah mengambil alih pemerintahan Kelantan daripada kerajaan Siam dan mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari segi pentadbiran. Perubahan yang diperkenalkan oleh British telah menyentuh kedudukan dan keistimewaan tradisional di negeri Kelantan. Antara perkara yang paling sensitif ialah pelaksanaan cukai seperti cukai tanah, cukai kepala, cukai pokok buah-buahan serta cukai kelapa dan sireh.\nJasa dan pengorbanan pemimpin dan pejuang Tanah Melayu ini harus terus dipentaskan, direkodkan serta diuar-uarkan supaya generasi muda turut mengenali mereka dan memahami bahawa kemerdekaan yang kita peroleh pada hari ini tidak datang secara percuma, sebaliknya dibayar dengan air mata dan darah para pejuang yang telah terkorban demi mempertahankan tanah air. Oleh itu, tenaga dan idea-idea hebat para pemimpin mencapai kesepakatan dengan British untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu harus ditonjolkan kepada masyarakat melalui pelbagai kaedah termasuklah melalui nilai seni dan budaya seperti pementasan teater Tok Janggut dan filem Mat Kilau. Teater dan filem seperti ini wajar diberikan sokongan untuk menanam sikap sayang dan cinta akan tanah air dalam setiap diri rakyat Malaysia.\nPementasan Teater Tok Janggut dalam Dikir Barat ini turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai pementasan pertama teater dalam dikir barat di Malaysia." "Promosi Kraf Sempena Kempen Beli Barangan Malaysia 2022 di Publika Shopping Gallery\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Kraftangan Malaysia mengadakan Majlis Penutup Promosi Kraf Sempena Kempen Beli Barangan Malaysia 2022 yang bertempat di Publika Shopping Gallery, Kuala Lumpur. Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC). Majlis turut dihadiri oleh Yang Berhormat Dato\u2019 Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).\nPromosi Kraf Sempena Kempen Beli Barangan Malaysia 2022 merupakan kolaborasi strategik yang julung-julung kali diadakan antara Kraftangan Malaysia dengan KPDNHEP. Inisiatif melalui kerjasama dengan KPDNHEP ini secara langsung dapat membantu para usahawan dan komuniti kraf untuk memasarkan produk secara terus kepada pengguna. Hal ini juga dapat menyemarakkan lagi Kempen Beli Barangan Malaysia yang sedang giat dijalankan oleh KPDNHEP. Program ini mula berlangsung dari 10 hingga 16 Oktober 2022 dengan penglibatan seramai 30 orang usahawan dan komuniti kraf.\nPromosi Kraf Sempena Kempen Beli Barangan Malaysia 2022 ini menawarkan pelbagai aktiviti yang menarik seperti Pameran MYCRAFTSHOPPE, Pameran Kempen Ini Batik Malaysia, jualan produk kraf, interaktif kraf, pertandingan seni kreatif, persembahan kesenian dan permainan rakyat.\nTurut hadir menyerikan majlis ialah Datuk Hajah Saraya Arbi, Ketua Setiausaha MOTAC, Puan \u2018Ainu Sham Haji Ramli, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia serta para pegawai kanan kementerian dan agensi-agensi di bawah MOTAC.\nMOTAC berharap rakyat Malaysia terus menyokong dan membeli produk keluaran tempatan bagi membantu para usahawan kraf meningkatkan pendapatan dan sekali gus dapat memastikan ekonomi negara kekal berdaya saing." "Program Perantisan Seni Puisi Rejang Menyambung Warisan Seni Rejang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMelaka \u2013 Dalam usaha memelihara warisan seni rejang agar tidak pupus ditelan arus pembangunan dan perkembangan zaman, Jabatan Kebudayaan, Kesenian Negeri Melaka (JKKN Melaka) telah mengadakan Program Perantisan Seni Puisi Rejang di Dewan Tun Sri Lanang, Kompleks JKKN Melaka, Ayer Keroh pada 14 hingga 15 Oktober 2022.\nMajlis perasmian penutupan program disertai seramai 55 orang peserta dan disempurnakan oleh Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Alias.\nMenurut Ezlina, program yang dilaksanakan itu merupakan program penutup selepas semua peserta mengikuti modul latihan perantisan dan model pengajaran untuk Kompleks JKKN (Rejang Kontemporari) selama dua tahun.\n\u201cProgram ini dilaksanakan oleh Pertubuhan Seni Kesidang Sari dan Model Komuniti (Rejang Asli) yang terdiri daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Perak, Jasin dan Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran Chenderah, Jasin. Selain itu, semua 55 orang peserta ini telah menamatkan modul perantisan puisi rejang pada tahun ini dan mereka dibimbing oleh dua orang tokoh, iaitu Puan Norliza Haji Md Yamin yang merupakan Tokoh Muda Puisi Rejang dan Tuan Haji Rani Embi yang juga merupakan Tokoh Budaya dan Pakar Rujuk Puisi Rejang,\u201d ujar Ezlina.\nTambah Ezlina lagi, Puisi Rejang merupakan satu lagi projek pemuliharaan dan penyelidikan warisan tidak ketara negeri Melaka yang sedang dibangunkan oleh JKKN Melaka FanPage. Di samping itu, pihak JKKN Melaka turut merakamkan ucapan penghargaan buat saudara Syed Indera Syed Omar (Siso) yang telah berjaya memasukkan dan menggabungkan irama dalam puisi rejang bagi memberikan suntikan inovasi kepada rejang.\n\u201cUntuk makluman semua, puisi rejang telah terpilih untuk dipersembahkan di pentas Festival Seni Hidup (Living Arts Festival \u2013 LACF) oleh pihak ibu pejabat JKKN sebagai satu daripada warisan tidak ketara yang sedang melalui proses pemuliharaan dan akan diadakan pada 3 hingga 5 November 2022 di MaTiC, Kuala Lumpur,\u201d kata Ezlina.\nDalam majlis yang sama, Puan Norliza Haji Md Yamin berkata, antara perkara yang diberi tumpuan dalam bimbingan beliau kepada para peserta termasuklah sejarah rejang, cara untuk mendendangkan rejang, penghayatan puisi rejang dan proses menulis rejang.\n\u201cRejang merupakan puisi yang berasal dari Jasin dan satu-satunya khazanah puisi milik orang Melayu serta puisi Melayu yang mempunyai pengaruh Hindu kerana terdapat unsur-unsur tilikan. Berdasarkan terjemahan Barat, mereka mentafsirkan rejang itu adalah ramalan. Namun selepas kedatangan dan perkembangan agama Islam, budaya dan tradisi rejang lebih berpusat kepada ajaran agama Islam yang menekankan kepada kisah nabi, panduan, bimbingan serta nasihat kepada anak-anak,\u201d jelas Ezlina.\nEzlina turut menyatakan bahawa para peserta juga turut dibimbing tentang teknik-teknik mendapatkan penghayatan dalam mendendangkan puisi rejang dan proses ini memakan masa yang agak lama kerana peserta perlu menghayati puisi rejang tersebut untuk mendapatkan suara yang bagus. Kemudian untuk proses yang terakhir, peserta diberi panduan untuk merangka dan menulis rejang yang mempunyai lima baris dengan tiga pembayang dan dua maksud.\n\u201cPara peserta juga diminta untuk menghasilkan lima hingga 10 rejang kerana pada akhir tahun nanti, kita akan membukukan rejang buat pertama kalinya dan insya-Allah akan diterbitkan oleh JKKN Melaka,\u201d ucap Ezlina mengakhiri bicara." "Bahasa Malaysia, Bahasa Indonesia: Sama tetapi Tidak Serupa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKali pertama saya terdedah kepada bahasa Indonesia ketika menonton filem Indonesia pada dekad 1970-an, dengan pelakon hebat ketika itu seperti Sophan Sophiaan dan Widyawati. Sebagai anak remaja, saya bukan sahaja terpikat dengan kisah cinta yang menarik tetapi juga pelakonnya yang tampan dan menawan.\nKetika itu, saya begitu terpesona dengan dialog yang diujarkan oleh para pelakonnya yang begitu indah dan menarik dari segi kata-kata dan sebutan serta intonasinya. Antara filem yang pernah saya tonton termasuklah Gaun Pengantin, Demi Cinta, Rindu, Jinak-jinak Merpati, dan Cinta Remaja.\nKemudian, ketika mempelajari mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di tingkatan enam, kami juga didedahkan kepada sebuah novel Indonesia yang tidak kurang menariknya. Novel Keluarga Gerilya karya Pramoedya Ananta Toer itu begitu mencengkam dari segi kisah dan plotnya dan begitu indah dari segi bahasa.\nSejak itu, minat terhadap filem dan karya kreatif Indonesia terus semarak. Saya tidak lagi menoleh ke belakang. Kegilaan membeli dan membaca buku Indonesia tidak lagi dapat dikekang sebagaimana kegilaan membeli dan membaca buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.\nPeluang kali pertama ke Indonesia ialah pada tahun 1993. Ya, kebetulan itu kunjungan pertama kali saya ke luar negara. Indonesia menjadi pilihan walaupun diberi peluang oleh\u00a0 seseorang untuk memilih mana-mana destinasi di dunia sebagai ganjaran menyiapkan sesuatu tugas.\nSaya tidak menyesal membuat pilihan itu kerana sejak lawatan pertama saya ke negara 270 juta jiwa itu, hampir pada setiap tahun saya ke sana kecuali pada tahun ini. Indonesia menarik bukan sahaja kerana lebih daripada 300 suku kaumnya tetapi juga kerana kekayaan budaya dan masakannya. Bagi saya, kunjungan ke Indonesia khususnya Jakarta tidak lengkap jika tidak membeli buku.\nBagi sesiapa yang pertama kali ke Indonesia, mereka tentu tertarik dan sekali gus hairan dengan bahasa Indonesia yang serumpun dengan Malaysia tetapi ternyata mempunyai banyak perbezaan.\nBukan mengejutkan anda atau teman bicara termasuklah pramusaji akan terpinga-pinga disebabkan oleh bahasa yang digunakan. Pertama, mungkin kerana perkataan atau istilah yang digunakan oleh kedua-dua pihak tidak sama makna atau perkataan itu tidak difahami masing-masing. Namun begitu, ada juga istilah yang berbeza tetapi mempunyai maksud yang sama. Kesudahannya, wujud salah faham atau salah pengertian kerana dua orang berbicara dengan menggunakan istilah yang sama tetapi memahami maksudnya secara berbeza.\nJika anda membaca \u201ckoran\u201d atau akhbar dan majalah terbitan Indonesia seperti Tempo, Gatra, Republika dan Kompas, tentu sekali-sekala kening anda berkerut berdepan dengan kosa kata, istilah dan akronim yang asing dan terasa aneh. Sama juga dengan pengalaman rakyat Indonesia apabila mereka membaca majalah dan akhbar di negara ini.\nUsaha penyeragaman ejaan dalam kalangan negara Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei sedikit banyak telah dapat merapatkan perbezaan. Ini satu langkah proaktif dan berpandangan jauh oleh para perancang di negara terbabit.\nBiarpun kita pernah berdepan dengan konfrontasi dengan negara Indonesia yang menyebabkan negara serumpun itu tegang dari segi hubungan dua hala dan hubungan diplomatik, namun akhirnya, dengan tamatnya konfrontasi, perancangan bahasa juga diberi perhatian.\nPada tahun 1972, ejaan bahasa Indonesia dan Malaysia diseragamkan meskipun masih ada kecenderungan untuk mengekalkan perbezaan bagi banyak perkataan misalnya \u201ces\u201d untuk ais, \u201ckarena\u201d untuk kerana, \u201cfilm\u201d untuk filem, \u201cghaib\u201d untuk ghaib dan ribuan lagi.\nSeyogia diingatkan, kita juga banyak mengambil kosa kata dan istilah daripada bahasa Indonesia, dan untuk membuktikannya, teliti sahaja Kamus Dewan Perdana. Seperkara yang perlu kita sedar ialah sejarah pemerintahan dan penjajahan asing telah banyak memberikan kesan kepada kedua-dua negara dan bahasanya.\nJelaslah bahawa sejarah memberikan kesan terhadap evolusi, perkembangan dan pertumbuhan bahasa, selain tentunya bagaimana perancangan bahasa dibuat oleh kedua-dua negara. Malaysia beruntung kerana kerajaan telah menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk merancang pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang sehingga kita dapat saksikan hasilnya pada hari ini.\nNamun begitu, satu hal memang pasti. Darjah kesalingfahaman antara kedua-dua bahasa itu masih tinggi walaupun sejarah, kosa kata, istilah, sebutan dan intonasinya berbeza. Bahasa Indonesia banyak dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit manakala bahasa Malaysia menerima tempias bahasa Arab.\nSementara Indonesia dijajah oleh Belanda dan Malaysia oleh British, maka bahasa Indonesia banyak dipengaruhi juga oleh bahasa Belanda sementara bahasa Malaysia terkesan oleh bahasa Inggeris ala British. Walaupun kedua-dua bahasa itu hakikatnya berakar daripada bahasa Melayu yang sama \u2212 bahasa Melayu dari Sumatera \u2212 memiliki sejarah, pertumbuhan dan perkembangan yang berbeza dari segi perancangan korpus, istilah, ejaan, tatabahasa, ejaan dan intonasi, malah dinamismenya.\nContoh terbaik ialah Indonesia menggunakan perkataan \u201cMaret\u201d untuk Mac, \u201cAugustus\u201d untuk Ogos, \u201ckantor\u201d untuk pejabat, \u201cbioskop\u201d untuk pawagam, \u201capotek\u201d untuk farmasi, \u201ctelevisi\u201d untuk televisyen dan \u201ckebun binatang\u201d untuk taman haiwan, yang jelas merupakan kesan langsung daripada bahasa Belanda. Bagi bahasa Malaysia, jelas kuat dipengaruhi oleh bahasa Inggeris untuk kosa kata berkenaan.\nBermula dari dalam pesawat, anda sudah diperkenalkan dengan perkataan \u201csabuk pengaman\u201d yang bermaksud tali pinggang keledar hinggalah pesawat mendarat di \u201cbandara\u201d atau bandar udara.\nSebaik-baik sahaja selepas mendarat dan pasport anda diperiksa dan anda dibenarkan masuk ke negara itu, anda pun mencari tandas. Anda bertanya tentang tandas kepada petugas di lapangan terbang. Anda hendak \u201cBAK\u201d atau hendak \u201cBAB\u201d? Itu merupakan akronim untuk buang air kecil dan buang air besar.\nPasti petugas tidak akan tahu kecuali anda menggunakan perkataan \u201ckamar kecil\u201d yang tentunya jauh berbeza maksudnya dengan apa-apa yang kita fahami di Malaysia. Manakala anda juga mungkin terpinga-pinga dengan akronim untuk maksud \u201cke sungai kecil\u201d dan \u201cke sungai besar\u201d itu.\nKemudian, anda menaiki mobil atau kereta yang dipandu oleh seorang supir lalu tercekik dalam \u201ckemacetan\u201d atau kesesakan jalan raya yang teruk sampai seorang supir menyatakan, \u201cTiada hari tanpa macet di Jakarta, pak.\u201d Memang, kami pernah tercekik dalam kesesakan di jantung kota 12 juta jiwa itu selama lima jam untuk perjalanan sejauh tujuh kilometer.\nApakah yang mengagumkan anda ketika berada di dalam kenderaan di Jakarta? Selain bangunan pencakar langit, anda tentu tertarik melihat paparan iklan dengan kata-kata yang indah dan mencengkam.\nBegitu juga dengan banyaknya akronim yang tentunya anda tidak fahami. Selamat datang ke negara penuh akronim. Jangan susah hati. Itu gambang dan bisa diatur. Jika anda tersesat, anda boleh memohon \u201cbanpol\u201d atau bantuan polis, jangan memohon \u201cbanpres\u201d atau bantuan presiden kerana itu sudah melampau. Ya, apakah yang tidak diakronimkan atau disingkatkan di negara ini? Ketika di Jakarta, anda pasti akan mendengar perkataan \u201cJabodetabekpunjur\u201d\u00a0 yang merujuk Jakarta Raya, yang meliputi kawasan Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang, Bekasi, Puncak dan Cianjur.\nAnda hendak ke Jawa Tengah, mereka akan singkatkan menjadi \u201cJateng\u201d, manakala jika hendak ke Surabaya Madura hanya disingkatkan menjadi \u201cSuramadu\u201d, dan jika ke Sumatera Utara hanya disingkatkan menjadi \u201cSumut\u201d.\nJika kebetulan anda ditahan oleh \u201cpolisi\u201d, anda mungkin hanya perlu melakukan \u201ctilang\u201d atau bukti pelanggaran, manakala jika sakit pergi sahaja ke \u201cpuskesmas\u201d atau pusat kesihatan masyarakat. Anda jangan berjumpa dengan \u201cPak RT\u201d, iaitu Rukun Tetangga.\nMalah ada kecenderungan semua jawatan menteri disingkatkan. Misalnya, \u201cWapres\u201d bermaksud wakil presiden, \u201cMenlu\u201d (Menteri Luar), \u201cMenag\u201d (Menteri Agama), \u201cMenhan\u201d (Menteri Pertahanan), dan \u201cMenperindag\u201d (Menteri Perindustrian dan Perdagangan). Bagi kita, mungkin satu tindakan aneh dan kedengaran aneh singkatan berkenaan tetapi bagi rakyat Indonesia, itu sesuatu yang lazim. Sama juga bagi rakyat Indonesia yang berasa aneh apabila membaca kosa kata, istilah atau ujaran rakyat Malaysia. Kelainan dan perbezaan itu tidak harus menggusarkan kita atau menyebabkan kita memandang rendah atau menghina bahasa negara lain. Sebaliknya, kita perlu mencuba untuk memahami dan menguasainya.\nJika anda kecelakaan atau kemalangan parah, anda mungkin dibawa ke \u00a0\u201cBahagian Gawat Darurat\u201d di rumah sakit yang bermaksud bahagian kecemasan di hospital. Bagi bahasa Indonesia, akronim dibentuk dengan mengindahkan keserasian kombinasi vokal dan konsonan, sesuai dengan pola kata bahasa Indonesia yang lazim agar mudah diucapkan dan diingati.\nHati-hati jika anda membuat temu janji di Indonesia. Ketika anda menyatakan bahawa tarikhnya, orang Indonesia akan menggunakan perkataan tanggal yang di Malaysia bermaksud lucut. Jam berapa hendak berjumpa? Hati-hati ya kerana orang Indonesia akan menyatakan misalnya jam setengah dua, yang bermaksud pukul 1.30 dan bukannya pukul 2.30.\nBahasa Malaysia dan bahasa Indonesia mempunyai keunikan dan kelainannya. Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekuatan. Justeru, kedua-dua bahasa itu perlu saling melengkapi dan saling difahami. Usaha ke arah itu telah pun dilakukan hampir 50 tahun lalu dari segi penyeragaman bahasa.\nPinjam-meminjam atau pengambilan istilah daripada bahasa serumpun tentu lebih baik daripada meminjam daripada bahasa asing. Bahasa Indonesia dan bahasa Malaysia perlu saling melengkapi dan para perancang bahasa di kedua-dua negara hendaklah menjalinkan kerjasama ke arah mewujudkan keseragaman dari aspek tertentu bagi memudahkan penggunaan dan pemahaman bahasa dalam kalangan pengguna bahasa. Kita perlu meraikan perbezaan dan keunikan kedua-dua bahasa dan bukannya memperlekehkan atau memandang rendah bahasa berkenaan.\nSesungguhnya, lain padang lain belalang, lain desa lain bahasanya. Memandangkan rakyat kedua-dua negara mempunyai hubungan yang amat rapat dan saling mengunjungi untuk tujuan pelancongan, melawat saudara-mara dan sebagainya, maka ada baiknya kita menguasai dan memahami perbezaan dari segi bahasa terbabit. Jangan sampai berlaku salah faham yang kemudiannya akan mencetuskan masalah yang merugikan. Bahasa harus menjadi jambatan untuk merapatkan hubungan antara dua buah negara serumpun dan berjiran tetangga.\n\u00a0\nDr. Jeniri Amir merupakan Profesor Adjung dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara, yang juga pengamat bahasa." "Penghulu Berperanan Memartabatkan dan Memantapkan Jati Diri Patriotisme Orang Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMelaka \u2013 Dalam usaha menerapkan semangat patriotisme orang Melayu serta memartabatkan dan memantapkan jati diri adat, budaya dan warisan, peranan para penghulu dan sidang di Negeri Melaka amat penting bagi merealisasikan matlamat tersebut.\nJusteru, kerajaan negeri Melaka menerusi Persatuan Pengamal-pengamal Adat Melayu (Sidang) Negeri Melaka dan Institut Warisan Melaka (INSWA) telah menganjurkan Seminar Kepimpinan dan Pemerkasaan Adat Melayu dalam kalangan Penghulu dan Sidang Negeri Melaka Tahun 2022 di Bandar Melaka.\nProgram yang dihadiri kira-kira 250 orang peserta daripada kalangan Penghulu dan Sidang Negeri Melaka yang telah dilantik oleh kerajaan negeri Melaka itu turut mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Jabatan Warisan Negara (JWN), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).\nMajlis seminar itu dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Muhammad Jailani Khamis, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Melaka mewakili Ketua Menteri Melaka, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali serta turut dihadiri oleh Encik Nurman Mohd Baroldin, Pengurus Besar INSWA dan Encik Muslihin, Pengerusi Persatuan Pengamal Adat Negeri Melaka.\nDalam ucapan perasmian, Datuk Muhammad Jailani berkata, cabaran globalisasi yang melanda seluruh dunia ketika ini telah mempengaruhi cara manusia bermasyarakat dan melaksanakan urusan harian.\nSelain itu, masyarakat amat memerlukan tunjang adat dan budaya sebagai santapan jiwa yang menjadi teras dalam sosiobudaya rakyat di negara ini serta untuk mengimbangi tahap pengetahuan dan kemahiran masyarakat bandar dan luar bandar khususnya dalam bidang sosial, ekonomi dan politik.\n\u201cPeranan Sidang Negeri Melaka dan INSWA dengan kerjasama pihak-pihak yang berkaitan amat penting dalam usaha menerapkan semangat patriotisme orang Melayu dalam memartabatkan dan memantapkan jati diri adat, budaya dan warisan khususnya kepada para penghulu dan sidang melalui kegiatan ilmiah ini. Dalam konteks ini, kefahaman dan penghayatan terhadap pelbagai aspek jati diri dan adat budaya perlu diperluas terutama dalam kalangan penghulu dan sidang yang baru dilantik,\u201d ujar Datuk Muhammad Jailani.\n\u201cSaya percaya seminar yang diadakan ini merupakan satu usaha bagi mencapai hasrat tersebut dan dapat mempertemukan penghulu dan sidang dengan para ilmuwan dalam satu kegiatan intelektual yang merupakan peluang keemasan untuk mencari kesatuan pemikiran dalam kalangan para pengamal adat dan budaya serta para ilmuwan melalui perbincangan dan percambahan fikiran,\u201d jelas Datuk Muhammad Jailani.\nDatuk Muhammad Jailani turut menyatakan bahawa kerajaan negeri Melaka sentiasa menyokong dan mendokong setiap usaha untuk memartabatkan adat Melayu dalam kalangan penghulu dan sidang dengan cara mengambil inisiatif melaksanakan program-program seperti seminar tersebut dengan matlamat untuk membina barisan kepimpinan pengamal adat yang lebih komited, patriotik, telus dan akauntabiliti berdasarkan nilai kebenaran, amanah dan toleransi.\nManakala Encik Nurman pula menjelaskan bahawa matlamat seminar itu untuk memberi pendedahan yang lebih meluas tentang tanggungjawab penghulu dan sidang dalam pembangunan pada peringkat kariah, daerah, negeri dan nasional di samping memastikan mereka memahami peranan dan menghayati fungsi adat dengan lebih jelas, teratur dan tersusun dalam usaha memperkasa adat Melayu di negeri Melaka.\nTambah beliau, hubungan baik antara para pengamal adat dan budaya dengan pemimpin amat penting dan perlu dipererat kerana kedua-dua pihak saling memerlukan dan melengkapi antara satu dengan yang lain untuk memperkasakan warisan adat budaya Melayu yang kian dilupakan pada abad ini.\n\u201cPemupukan budaya kepimpinan jati diri yang berwibawa, berdisiplin, berdaya maju dan bertanggungjawab hendaklah diterapkan dan menjadi fokus utama yang melibatkan golongan pengamal adat dalam setiap program dan aktiviti yang dijalankan.\nSelain itu, jati diri bukan sekadar berfungsi untuk membentuk kelakuan individu berkaitan dengan kebersamaan dalam kehidupan bermasyarakat, tetapi juga sebagai pendorong, penggerak dan peledak dalam mempertahankan harga diri, maruah agama, bangsa dan tanah air,\u201d kata Encik Nurman." "Jata Negara Lambang Perpaduan Keluarga Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIdentiti sebuah negara merdeka dan ketinggian martabatnya terserlah pada penampilan jata negaranya sebagai lambang rasmi kebesaran dan kekuasaan kerajaan serta kedaulatan jati diri negara yang harus dihormati.\nSetiap jata yang dipaparkan mempunyai falsafah dan membawa maksud, ciri dan nilai tersendiri bagi sesebuah negara berdasarkan lambang, warna dan gabungan subjek utama yang dimilliki negara berkenaan.\nSecara visual, jata negara menampilkan bentuk perisai yang dihiasi dengan objek yang melambangkan bentuk alam, haiwan, manusia, tumbuhan dan mercu tanda utama di samping turut dilengkapi dengan slogan atau cogan kata yang menterjemahkan falsafah dan semangat sesebuah negara serta prinsip hidup rakyatnya.\nBegitu juga dengan Malaysia yang berdaulat dan merdeka pada tahun 1957 turut mempunyai jata negara tersendiri sebagai simbol rasmi kemegahan negara, bahkan lebih awal lagi, iaitu sewaktu terbentuknya Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1895 yang menggabungkan negeri Pahang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Jata awal memaparkan gambar dua ekor harimau yang menyokong kakinya pada perisai yang mempunyai empat warna, iaitu merah, kuning, hitam dan putih yang mewakili warna keempat-empat negeri berkenaan.\nMahkota yang terletak di bahagian atas pula mewakili identiti empat kesultanan negeri manakala pada bahagian bawahnya terdapat cogan kata \u201cDipelihara Allah\u201d dalam tulisan Jawi yang diapit dengan dua butir bintang berbucu lapan. Jata ini kekal digunakan sehingga zaman Malayan Union pada tahun 1946 yang turut menggabungkan penyertaan beberapa negeri lain di Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, pemerintahan Malayan Union tidak bertahan lama dan dibubarkan kerana mendapat tentangan hebat daripada rakyat termasuklah Raja-raja Melayu. Penentangan tersebut membawa kepada pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.\nPembentukan Persekutuan Tanah Melayu yang menggabungkan 11 buah negeri turut melibatkan perubahan pada jata negara yang menonjolkan bulan sabit berwarna kuning dengan bintang pecah 11 menggantikan objek mahkota. Empat warna yang mewakili Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dalam jata negara yang asal dikekalkan dengan penambahan lambang ombak laut dan tembok kota pada kiri jata yang mewakili Pulau Pinang dan gerbang Kota A Famosa pada kanan jata yang mewakili Melaka. Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat. Begitu juga dengan lambang lima bilah keris pada bahagian atas perisai yang melambangkan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, iaitu Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.\nDua ekor harimau pada kiri dan kanan perisai sebagai lambang Negeri-Negeri Melayu turut dikekalkan dengan penambahbaikan. Cogan kata yang asal juga ditukar kepada \u201cBersekutu Bertambah Mutu\u201d dalam tulisan Jawi serta dalam bahasa Inggeris, iaitu \u201cUnity is Strength\u201d. Jata ini diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja Melayu pada 30 Mei 1952 dan kemudiannya diwartakan.\nPeristiwa pascakemerdekaan negara melibatkan gabungan Singapura, Sabah dan Sarawak dalam Persekutan Tanah Melayu pada 16 September 1963 yang membentuk Malaysia turut membawa perubahan pada jata negara, terutama yang melibatkan lambang dan slogan. Penambahan tiga negeri baharu itu dalam Malaysia telah melebarkan bentuk perisai jata. Bentuk bintang 11 bucu yang diperbaharui menjadi 14 bucu mewakili negeri yang bersekutu dalam negara bersama-sama anak bulan sabit yang terletak pada bahagian atas menjadi lambang agama Islam yang diangkat sebagai agama rasmi Malaysia.\nObjek harimau direka letak semula yang melibatkan perubahan pada posisi anggotanya berada di sisi perisai. Penyesuaian kecil juga dibuat pada penampilan rentang dan bulan sabit dengan bintang persekutuan 11 bucu diperbaharui untuk melambangkan 14 buah negeri. Cogan kata Inggeris dibuang dan cogan kata \u201cBersekutu Bertambah Mutu\u201d dalam tulisan Melayu Rumi pada bahagian kiri dan dalam tulisan Jawi pada sebelah kanan selaras dengan pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.\nSelain itu, unsur-unsur kolonial serta simbol bukan Islam yang terdapat pada lambang negeri Pulau Pinang dan Melaka yang menjadi Negeri-Negeri Selat pada suatu masa dahulu turut dimansuhkan daripada jata negara. Lambang Kota A Famosa, Melaka digantikan dengan lambang pokok Melaka. Pelepah dan bulu yang mewakili Pulau Pinang digantikan dengan pokok pinang, manakala tembok digantikan dengan jambatan yang siap dibina pada era 1980-an.\nKeputusan Singapura untuk keluar daripada Malaysia pada tahun 1965 turut melibatkan pemansuhan lambang negeri itu dalam jata negara dan digantikan dengan lambang bunga raya yang diisytiharkan secara rasmi sebagai bunga kebangsaan pada tahun 1960. Pada tahun 1988 juga dilaksanakan perubahan dengan menampilkan jata terkini Sarawak dan Sabah yang pada tahun 1963 memaparkan bendera negeri itu dipegang oleh dua lengan manusia.\nPenampilan harimau yang berdiri pada sisi jata negara juga ditampilkan melalui wajah yang lebih realistik dan agresif yang melambangkan kekuatan, kegagahan, keberanian dan keperkasaan negara. Satu perkara lagi yang turut diperkenalkan adalah jata rasmi Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang dikelilingi dengan dua berkas padi berwarna keemasan yang melambangkan kemewahan atau kemakmuran. Pada penciptaan logo sebelum ini, sememangnya terdapat warna kuning pada awan-awan yang melambangkan warna diraja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.\nCogan kata \u201cBersekutu Bertambah Mutu\u201d dalam tulisan Melayu Rumi pada bahagian kiri dan dalam tulisan Jawi pada sebelah kanan jata negara terus dikekalkan. Cogan kata keramat ini memberikan inspirasi agar setiap negeri dan rakyat Malaysia perlu terus bersatu padu, saling menyokong dan bersedia untuk bergerak secara bersama-sama dalam segala usaha yang dilakukan demi mencapai dan merealisasikan hasrat kemajuan negara dan kesejahteraan hidup rakyat.\nWalaupun sudah lama slogan ini dicetuskan dan menjadi sebahagian daripada sejarah, namun slogan ini tidak boleh dianggap klise kerana memang ternyata dalam apa-apa jua situasi, negara sememangnya memerlukan rakyat yang mempunyai kekentalan jiwa dan semangat. Penyatuan dan kerjasama rakyat secara tersusun dan bersepadu amat penting bagi menghadapi pelbagai cabaran terutama pada alaf baharu. Cogan kata keramat ini masih terus relevan untuk menjadi pegangan dan diterapkan dalam setiap jiwa rakyat Malaysia.\nHal ini berkaitan dengan gerakan bersepadu memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat, maju dalam pendidikan kemampuan menguasai teknologi serta banyak lagi usaha dan pendekatan untuk memacu kejayaan.\nDemi keselamatan hidup rakyat dan negara pula, setiap anggota masyarakat perlu bersama-sama membanteras jenayah dan musuh negara seperti pengedaran dan penagihan dadah, penyeludupan masuk migran serta menyeludup keluar barangan bersubsidi ke luar negara termasuklah menghadapi ancaman pandemik COVID-19 yang masih segar dalam ingatan rakyat.\nJika pada awalnya, slogan \u201cBersekutu Bertambah Mutu\u201d menampakkan kelebihan gabungan pelbagai negeri yang membentuk Malaysia, namun pada masa kini, slogan itu masih relevan dan menjadi tunjang kepada penyatuan pelbagai unsur kehidupan bagi mencapai setiap matlamat gagasan negara. Begitu juga dengan penampilan pelbagai slogan lain yang dicipta bagi menggerakkan sesuatu program dan gagasan besar yang menuntut setiap rakyat bangkit bersama-sama untuk menjayakannya seperti aspirasi Keluarga Malaysia sekarang.\nDalam konteks negara sebagai Keluarga Malaysia yang lebih besar, Perdana Menteri Malaysia, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob yang mencetuskan idea itu sentiasa mengajak setiap rakyat untuk bersama-sama saling menanamkan rasa cinta seperti persaudaraan dalam keluarga yang terikat teguh dengan jalinan silaturahim dan kasih sayang yang\u00a0 kukuh serta tidak mudah goyah, terungkai atau terputus. Pendekatan sebegini dilihat lebih praktikal dan berkesan demi mencapai hasrat impian dan murni melalui ciri dan nilai \u201cKeterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran\u201d." "Caklempong Bukan Sekadar Seni dan Warisan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGombak \u2013 Majlis Perasmian Aksara Caklempong 2022 telah berlangsung pada 21 Oktober 2022 (Jumaat) pada pukul 3.00 petang hingga 5.30 petang di Bilik Seminar ICC, Pusat Kebudayaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).\nProgram anjuran Andeka Caklempong UIAM ini dirasmikan oleh Ketua Jabatan Pusat Pembangunan Kelestarian Seni dan Budaya UIAM (CiTRA), Roslimna Mohmmed Saad. Majlis tersebut turut diserikan dengan program bicara Wacana Caklempong yang menampilkan barisan panel yang terdiri daripada Yuzaimuddin Md Yusof, Penggiat seni dan Ikon Caklempong dan Zamzahardi Mohamad Zambrin dari Istana Budaya yang juga seorang pengurus artistik. Manakala moderator yang menjayakan wacana ini pula ialah Muhammad Naqib Nauphal Mohd Phaizal daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).\nPenggiat seni caklempong, Yuzaimuddin Md Yusof yang mesra dengan nama panggilan Pak Yuzi yang juga merupakan Ikon Caklempong berkata, kesenian tradisional caklempong itu mempunyai ciri-ciri unik dan tersendiri serta memerlukan lonjakan untuk diangkat ke peringkat antarabangsa. Selain itu, caklempong juga mempunyai banyak persamaan dengan piano atau sita dan tabla yang terkenal di seluruh dunia.\n\u201cMengapakah caklempong sukar untuk mendapat pengiktirafan dan prestij yang sewajarnya? Sewaktu saya membuat persembahan di Eropah, Jepun dan Asia Barat, masyarakat di sana berasa amat kagum dengan keunikan warisan kesenian caklempong dari Malaysia. Bahkan, sambutan dan sokongan yang diterima berkaitan caklempong amat memberangsangkan,\u201d ujar Yuzaimuddin.\nSehubungan dengan itu, Yuzaimuddin mengambil inisiatif mengajar generasi muda terutama pelajar sekolah rendah di sekitar Negeri Sembilan tentang caklempong dalam dunia muzik tradisional supaya dapat melahirkan generasi pewaris warisan caklempong pada masa akan datang.\n\u201cSaya menyeru kepada masyarakat terutama penggiat seni muda supaya tidak sembarangan mencampuradukkan elemen moden dalam persembahan muzik tradisional khususnya caklempong demi menjamin nilai-nilai keaslian caklempong yang perlu dipelihara dan dipertahankan,\u201d jelas Yuzaimuddin.\nTambah beliau, caklempong masih mendapat sokongan bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Minangkabau di Negeri Sembilan, bahkan turut mendapat sambutan di negeri-negeri lain merangkumi acara persembahan perkahwinan, mengiringi kunjungan para pembesar negeri serta mengiringi nyanyian, tarian dan aktiviti pencak silat.\nMenurut Zamzahardi pula, caklempong merupakan alat muzik tradisional bangsa Melayu yang tergolong dalam keluarga gong namun bersaiz kecil. Caklempong diperbuat daripada gangsa dan menggunakan teknik acuan. Perkataan \u201ccaklempong\u201d juga digunakan untuk menerangkan jenis dan kaedah pembuatannya.\n\u201cCaklempong mula berkembang dalam kalangan masyarakat Melayu berketurunan Minangkabau di Negeri Sembilan yang berasal dari Minangkabau atau Sumatera Barat, Indonesia. Kini kesenian muzik caklempong bertapak kukuh di negeri-negeri lain. Di samping itu, warisan caklempong ini sesuai dipersembahkan untuk pelbagai acara berkaitan kebudayaan, warisan dan tradisi, merangkumi acara rasmi kerajaan atau bukan kerajaan, adat istiadat, majlis perkahwinan, sambutan, pencak silat dan sebagainya,\u201d jelas Zamzahardi.\nZamzahardi turut menyatakan bahawa caklempong pacik merupakan satu cara, kaedah atau teknik permainan caklempong. Bonang caklempong dipegang dengan sebelah tangan dan sebelah tangan lagi memalu atau mengetuk bonang yang dipegang itu.\nTambah Zamzahardi lagi, para pemuzik caklempong pacik akan memainkan irama ataupun corak ritma yang ditetapkan bergantung pada jenis lagu. Seterusnya irama caklempong akan disusuli dengan alunan gendang tambua dan pupuik sebagai pemain melodi.\nTurut hadir menyerikan majlis ialah Syazana Darawin dari ASWARA yang merupakan jurulatih Andeka Caklempong UIAM dan Muhammad Zuhri Imran Azhar, Penolong Pengurus Program Aksara Caklempong 2022." "Restorasi Terinai Perlis Menonjolkan Keunggulan Budaya dan Warisan Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Jabatan Tarian, Fakulti Seni Kreatif, Universiti Malaya (UM) serta Bahagian Dasar dan Penyelidikan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bekerjasama menganjurkan Panggung Seni Tradisional 2022: Restorasi Terinai Perlis yang diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur pada malam 21 Oktober 2022.\nPanggung Seni Tradisional 2022: Restorasi Terinai Perlis ini merupakan sebahagian daripada siri Pameran Seni Tradisional 2022 (Panggung Seni Tradisional 2022) yang ditaja oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Kebudayaan (MOTAC) dan disokong oleh Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM).\nAcara ini turut dihadiri dan disaksikan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Keberangkatan tiba DYTM Tuanku Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis disambut oleh Profesor Dato\u2019 Ir. Mohd Hamid Abd Shukor, Naib Canselor UM; Tan Sri Zarinah Anwar, Pengerusi Lembaga Pengarah UM serta Ketua Pengarah JKKN, Haji Mesran Mohd Yusop.\nPersembahan Restorasi Terinai Perlis turut menghimpunkan pelbagai bentuk terinai dalam satu persembahan melalui bimbingan artistik pakar terinai, Dr. Zamin Haroon di samping persembahan tarian yang menggabungkan syarahan, demonstrasi, dialog, dan persembahan audio visual untuk memperkaya pengalaman menonton. Keunikan kepelbagaian persembahan ini bukan sahaja menjadi satu bentuk hiburan bagi pencinta seni, bahkan turut menjadi program pendidikan untuk seluruh masyarakat.\nPersembahan Restorasi Terinai Perlis juga merupakan usaha sama antara pelbagai pihak merangkumi Fakulti Seni Kreatif UM, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), JKKN serta Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT). Persembahan terinai turut diiringi dengan alunan muzik secara langsung oleh orkestra Gendang Keling yang diketuai oleh pakar muzik, Amil Senapi.\nSelain itu, Panggung Seni Tradisional 2022: Restorasi Terinai Perlis turut menonjolkan pameran terinai tertua dan menjejaki era evolusinya dari tahun 1900-an hingga tahun 2022 yang merangkumi lapan himpunan terinai lama yang dibina semula dan lapan terinai ciptaan tradisional, iaitu Terinai Mengadap dan Selom, Terinai Layang Mas, Terinai Dudui, Terinai Dewa Raja, Terinai Ketam Bawa Anak, Terinai Putra Mahkota, Terinai Sri Indera serta Inang Jawa dan Bertabuh.\nPanggung Seni Tradisional 2022: Restorasi Terinai Perlis berlangsung selama dua hari, iaitu bermula 21 Oktober hingga 22 Oktober 2022 dan hasil jualan tiket akan disumbangkan kepada Kumpulan Wang Amanah Kebudayaan dan Kebajikan Pengiat Seni (KWAKKPS)." "Genderang Seribu Pendekar Membangkitkan Semangat Juang Anak Bangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Kedah \u2013 Festival Kota Kuala Kedah anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya, Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Kedah dan Pertubuhan Silat Berkeris Malaysia (PEKERIS) julung-julung kalinya diadakan di Muzium Kota Kuala Kedah. Festival ini berlangsung dari 20 hingga 22 Oktober 2022 bermula jam 9.00 pagi hingga 11.00 malam.\nMajlis perasmian festival ini disempurnakan oleh Ketua Setiausaha MOTAC, Yang Berbahagia Datuk Hajah Saraya Arbi dan telah berlangsung dengan meriah. Menurut Datuk Hajah Saraya, festival yang julung-julung kalinya diadakan ini merupakan simbolik berdasarkan sejarah Kota Kuala Kedah yang dibina pada tahun 1771 hingga tahun 1880 yang ditandai dengan pintu gerbang Kacapuri.\n\u201cFestival yang bertemakan Genderang Seribu Pendekar adalah sebagai naratif sejarah bagi menggamit semula semangat juang dalam membina jati diri anak bangsa berdasarkan perjuangan pahlawan dan pendekar negeri Kedah dalam mempertahankan kedaulatan negara terutamanya sewaktu berlakunya Perang Musuh Bisik pada tahun 1821 hingga tahun 1842,\u201d ujar Datuk Hajah Saraya dalam ucapan majlis perasmian.\nDatuk Hajah Saraya turut berkata, festival ini disertai oleh 1000 orang ahli dalam bidang persilatan, pergendangan, memanah, penggiat busana, penggiat seni dan budaya, jabatan-jabatan kerajaan dan para hadirin yang ada antaranya datang jauh dari negara jiran tetangga.\n\u201cFestival Kota Kuala Kedah juga bertepatan dengan visi MOTAC untuk mengangkat Malaysia sebagai destinasi lestari kaya budaya dan pihak MOTAC akan menaik taraf Muzium Kota Kuala Kedah ini menjadi produk pelancongan bertaraf antarabangsa,\u201d jelas Datuk Hajah Saraya.\nTambah beliau lagi, Festival Kota Kuala Kedah ini menarik kerana penganjurannya melibatkan model gabungan kepakaran antara agensi kerajaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti PEKERIS dan persatuan-persatuan silat, budaya, sejarah dan warisan di negeri Kedah serta negeri-negeri lain di Malaysia.\nMengakhiri ucapannya, Datuk Hajah Saraya turut berkata, muzium bukanlah hanya sebagai sebuah gedung yang menyimpan koleksi dan artifak negara semata-mata, bahkan peranannya adalah lebih besar selain bersifat holistik dan dinamik kerana muzium berfungsi menjadi jambatan bagi menghayati kehidupan yang lalu dan menghubungkan sejarah lampau dengan kehidupan manusia pada hari ini.\nSebanyak tujuh das tembakan dilepaskan semasa majlis perasmian festival ini sebagai simbolik kepada tujuh orang panglima negeri Kedah yang telah gugur syahid sewaktu mempertahankan Kuala Kedah dari serangan musuh pada masa dahulu. Majlis perasmian tersebut juga diserikan dengan persembahan pantomin Perang Musuh Bisik yang dijayakan oleh PEKERIS selain perarakan 40 orang pendekar yang membawa Panji Harimau Menerkam.\nSeluruh Keluarga Malaysia dijemput hadir untuk memeriahkan Festival Kota Kuala Kedah yang berlangsung selama tiga hari dan terdapat pelbagai aktiviti dan program menarik yang diadakan sepanjang festival berlangsung. Antaranya seperti pertandingan memancing, cabaran memanah, pertandingan kesenian dan kecantikan ayam serama dan lain-lain lagi. Majlis Perasmian Festival Kota Kuala Kedah tersebut turut disiarkan secara dalam talian melalui platform facebook Jabatan Muzium Malaysia, https://www.facebook.com/nationalmuseumkl/videos/502672431509629." "Raja Muda Perlis Memeriahkan Perayaan Deepavali\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u00ad\u00ad\u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menghadiri Majlis Rumah Terbuka Kumpulan Valiram yang diadakan di Kuala Lumpur.\nDalam majlis tersebut, baginda berdua bertitah mengucapkan \u201cSelamat Bergembira\u201d dalam suasana muhibah bersama-sama seluruh ahli keluarga dan rakan taulan kepada seluruh rakyat negeri Perlis yang menyambut Hari Deepavali pada tahun ini.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan seisi keluarga turut bertitah agar seluruh rakyat sentiasa mempertahankan kedaulatan perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama yang telah lama menjadi tradisi yang diwarisi di bumi bertuah Malaysia ini.\nDi samping itu, anakanda-anakanda baginda berdua, iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail turut menyampaikan ucapan yang sama.\nSelain itu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama keluarga baginda turut berkenan berangkat menyaksikan beberapa sesi pemeteraian perjanjian persefahaman yang melibatkan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Surya Biotech Engineering Sdn. Bhd. dan Lawi Engineering (M) Sdn. Bhd. bersempena The Innovate Tech Show and Global Drone Conference & Exhibition 2022 yang diadakan di Main Stage, Hall B, MATRADE Exhibiton and Convention Centre, Kuala Lumpur.\nDalam sesi pemeteraian perjanjian persefahaman tersebut, Profesor Ts. Dr. Zaliman Sauli, Naib Canselor UniMAP mewakili pihak UniMAP, manakala Surya Biotech Engineering Sdn. Bhd. diwakili oleh Mohd Adam Haziq Faris selaku ketua pegawai eksekutif dan\u00a0Rathakrishnan Arumugam pula mewakili Lawi Engineering (M) Sdn. Bhd. selaku pengarah syarikat." "Meneroka Sains menerusi Cerita Rakyat dan Sejarah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada zaman dahulu, manusia memerhatikan urutan peristiwa yang tabii seperti perubahan musim dan kitaran hidup haiwan. Ketertiban peristiwa ini diteliti agar membentuk rumus yang digunakan pula untuk menelah sesuatu perkara dengan lebih rasional. Telahan bagi menentukan kawasan untuk menyemai benih, waktu untuk menangkap ikan dan menghasilkan ubat-ubatan adalah contoh praktikal penggunaan ilmu sains dalam kehidupan seharian.\nSelain itu, sifat semula jadi bahan turut diteliti dan dikaji secara eksperimen untuk dimanfaatkan bagi meningkatkan kualiti kehidupan pada masa tersebut. Contohnya, tanah liat yang boleh dibentuk untuk menghasilkan alatan memasak kerana sifatnya yang mudah dibentuk apabila bercampur dengan air dan tahan haba yang tinggi apabila mengeras.\nPengetahuan tentang sifat bahan juga dimanfaatkan untuk tujuan estetika seperti warna, tekstur dan corak dalam binaan bangunan, tekstil serta hiasan. Maka itu, tidak hairanlah para saintis pada masa dahulu mampu menguasai pelbagai cabang ilmu sehingga berjaya menjadi pelukis, pembina arca, pereka bentuk bangunan, petani, agamawan dan sebagainya pada masa yang sama.\nRentetan itu, perkembangan sains bemula menerusi persoalan dengan tujuan untuk menyelesaikan masalah seharian dan membuat keputusan bagi menentukan penyelesaian yang terbaik. Pengetahuan-pengetahuan yang dikumpulkan daripada satu generasi kepada generasi yang seterusnya didebatkan, dibincangkan dan ditambah baik sehingga menjadi lebih dinamik dan kompleks.\nOleh hal yang demikian, secara umumnya sains didefinisikan sebagai \u201cilmu pengetahuan yang teratur (sistematik) yang boleh diuji atau dibuktikan kebenarannya; cabang ilmu pengetahuan yang berdasarkan kebenaran atau kenyataan semata-mata (fizik, kimia, biologi) menurut Kamus Dewan Edisi Keempat. Inti patinya, sains merupakan proses pemerolehan ilmu yang begitu mengujakan berkenaan aturan alam. Proses pemerolehan ilmu ini berlaku dalam tempoh masa yang agak lama, seiring dengan pembinaan dan pertembungan ketamadunan.\nSains menjadi amat menarik dan kaya dengan usaha penterjemahan dan penubuhan institusi penyelidikan awal yang mengumpulkan para saintis di bawah bumbung yang sama. Pada masa yang sama, pendidikan sains mula dilaksanakan oleh institusi persekolahan yang formal dan kini sains dilabel sebagai disiplin yang spesifik. Sains dikelompokkan berdasarkan tiga bidang asas yang dilabelkan sebagai kimia, fizik dan sains. Spesifikasi mengikut disiplin juga menjadikan mata pelajaran sains menepati piawaian yang disusun mengikut usia, bab dan kurikulum yang bertujuan untuk mengurangkan jurang ilmu khususnya dalam kalangan kanak-kanak.\nOleh hal yang demikian, kini wujud persepsi umum bahawa sains tidak menarik, penuh dengan jargon yang dianggap sukar, teori untuk dihafal serta pemerhatian berjadual dan penyiasatan praktikal dalam ruang yang superfisial. Semua ini ditambah dengan pembelajaran yang berorientasikan peperiksaan berbanding dengan tujuan awal perkembangan ilmu sains, iaitu pembuatan keputusan dan penyelesaian masalah.\nMaka itu, agak mencabar untuk menjawab soalan pelajar tentang \u201cmengapakah saya perlu mempelajari maklumat teori dan eksperimen ini serta untuk apa saya akan menggunakannya?\u201c\nJusteru, pemerolehan ilmu atau sains sewajarnya menyuntik motivasi pelajar agar dapat mengaitkan pembelajaran dalam bilik darjah dengan kehidupan melalui pembuatan keputusan dan penyelesaian masalah. Walaupun usaha tersebut memerlukan rombakan untuk mengubah orientasi \u201cbelajar untuk lulus peperiksaan\u201d, namun kini teknik-teknik pendidikan sains secara kreatif semakin mendapat perhatian.\nSatu daripada teknik yang kreatif adalah teknik bercerita (storytelling) untuk merapatkan jurang antara teori dan realiti dengan memfokuskan kepada tujuan ilmu sains tersebut dipelajari. Jenis cerita yang paling lazim yang digunakan di dalam bilik darjah adalah kes. Cerita jenis kes merujuk kepada rujukan konteks dan masalah sesuatu peristiwa. Kemudian pelajar diajak untuk menyelesaikan masalah itu dengan menggunakan pengetahuan teori mereka.\nPada dasarnya, teknik ini meletakkan pelajar dalam peranan sebagai penulis cerita dan membolehkan mereka mencari pengakhiran, sambil belajar secara aktif tentang topik tertentu. Implikasinya, kes yang berorientasikan peristiwa yang berkaitan dengan teori boleh dihasilkan untuk sumbang saran idea, perbincangan dan menjurus kepada penyelesaian masalah berkaitan peristiwa yang spesifik serta boleh diinspirasikan dengan kisah saintis tertentu.\nContohnya, kisah Abbas Ibnu Firnas yang mencuba pelbagai teknik untuk \u201cterbang\u201d. Inspirasi kisah ini boleh menggalakkan para pelajar untuk menguji bahan-bahan untuk terbang, memahami konsep aerodinamik serta menguji prototaip dalam lapangan. Bahkan, naratif ketekalan dan pemikiran saintifik yang dipegang oleh para saintis juga membentuk nilai dalam kalangan murid.\nGolongan guru juga boleh memanfaatkan pelbagai peristiwa bersejarah untuk sesi bercerita. Contohnya, sejarah tapak relau besi dunia di Sungai Batu, Kedah yang boleh dibentuk asas cerita untuk memahami peleburan besi. Selain kisah-kisah yang benar-benar berlaku, cerita jenis imaginatif juga boleh digunakan. Guru boleh menggalakkan pelajar membina naratif cerita mereka sendiri atau mengolah cerita yang sedia ada dengan memasukkan elemen imaginasi seperti inspirasi kisah jenaka Pak Kaduk untuk membentuk naratif yang berbeza. Kesannya, mungkin baju kertas Pak Kaduk boleh dilihat sebagai inovasi pakaian yang mesra alam.\nNamun cabaran utama untuk memilih dan menggunakan cerita sebagai pedagogi sains adalah perbezaan antara naratif cerita dengan pengetahuan sains. Sains pada asasnya berdasarkan fakta, manakala cerita pula berdasarkan fiksyen. Sehubungan dengan itu, sebagai seorang pakar kandungan, guru amat mementingkan penggunaan istilah yang tepat dan proses yang betul bagi memperincikan maklumat sains sehingga gusar tentang kemungkinan banyak butiran dan konsep hilang dalam pengolahan cerita.\nJusteru, para guru perlu bijak menyeimbangkan antara fakta dengan fiksyen dan penggunaan istilah yang tepat serta aktiviti susulan yang bersesuaian agar kandungan mata pelajaran dapat disampaikan dengan sebaik-baiknya. Oleh hal yang demikian, guru perlu diberikan ruang autonomi untuk mencuba teknik bercerita sebagai asas pedagogi sains yang pelbagai agar tumpuan pembelajaran sains membuka ruang untuk pembuatan keputusan dan penyelesaian masalah yang lebih kreatif." "Teater Asrama-Ra: Dorm Putera (Act II) Bukti Industri Seni Cakna Isu Sosial dan Kemasyarakatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Menyambung legasi teater Asrama-Ra, Khairunazwan Rodzy tampil dengan naskhah terbarunya, Asrama-Ra: Dorm Putra (Act II). Naskhah idea asal dramatis itu adalah hasil kolaborasinya bersama-sama Asyraf Syahir Mohd Najib dan akan dipentaskan di PJ Live Arts Jaya One pada 26 hingga 30 Oktober ini. Menurut penerbit produksi, Taqim Zaki, menjayakan projek ini merupakan satu usaha yang melangkaui pentas teater kerana isu malar segar yang dibawakan sangat relevan dengan masyarakat dan memberi kesedaran kepada bukan sahaja golongan pelajar dan guru dalam institusi pendidikan, bahkan turut menerokai akal fikiran golongan muda remaja dan dewasa untuk direnungkan.\n\u201cSelain penjenamaan Asrama-Ra yang sudah mempunyai peminat tersendiri, projek kali ini akan lebih fokus kepada bagaimana isu buli yang tabu ini dapat disampaikan kepada khalayak supaya masyarakat peka untuk menyekat gejala ini daripada menjadi barah,\u201d ujar Taqim Zaki.\nPementasan teater Asrama-Ra yang asal berlangsung hampir satu dekad yang lalu di Menara MARA, Kuala Lumpur. Sejak itu, teater Asrama-Ra menjadi sebuah naskhah sanjungan kontemporari dengan banyak pementasan telah diolah dan dipentaskan oleh dramawan-dramawan tempatan. Teater Asrama-Ra mendapat sanjungan penonton yang lebih luas apabila dipentaskan di pentas berprestij, Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac) dengan julukan pementasan Teater Asrama-Ra Allstar yang dibarisi pelakon terkemuka tanah air seperti Dira Abu Zahar, Siti Saleha, Nadiya Nissa, Fynn Jamal, Intan Nor Saina, Sharifah Amani, Sherry Al-Hadad dan Amerul Affendi.\n\u201cJika dalam Asrama-Ra pertama, saya menggunakan gaya penyampaian mimpi dalam mimpi untuk menampilkan kelainan, namun pada kali ini saya akan bermain dalam minda wataknya untuk menyentuh isu buli,\u201d kata Khairunazwan.\nIsu buli juga adalah isu yang tabu, lebih-lebih lagi dalam konteks perkongsian kebenaran. Dalam pementasan teater ini, penonton diajak untuk melihat dengan lebih kritis tentang bagaimana gejala buli akan meninggalkan mudarat yang berpanjangan. Naskhah ini mengangkat peranan saksi yang melihat kejadian buli serta usaha untuk membuka mata penonton terhadap tindakan, reaksi dan kesan yang berlaku di sekeliling kejadian buli.\n\u201cObjektif karya ini adalah untuk menyentuh isu buli yang semakin berleluasa, bukan sahaja dalam kalangan para pelajar, bahkan turut berlaku di tempat kerja. Saya percaya dan yakin bahawa gejala buli turut berlaku dalam kepimpinan negara kita dan dunia politik,\u201d ujar Khairunazwan.\n\u201cMemandangkan Asrama-Ra yang lepas mendapat sambutan yang agak tinggi, saya berasa takut untuk menulis naskhah sekuel ini. Namun saya melihat terdapat keperluan untuk menjadikan Asrama-Ra sebagai satu jenama serta penjenamaan yang mengangkat kisah-kisah dan isu-isu yang tabu dalam masyarakat kita untuk disampaikan kepada penonton,\u201d kongsi Khairunazwan lagi.\nKhairunazwan juga mengakui bahawa beliau seperti \u201cbertaruh\u201d dengan mengubah gaya dan konsep cerita. Daripada konsep seakan-akan dalam mimpi bagi naskhah pertama, siri sekuel ini pula akan membawa penonton menjelajah ke dalam minda wataknya.\nTeater ini dibarisi oleh artis-artis tanah air yang berpengalaman dalam dunia teater dan lakonan, iaitu Nam Ron, Fadhli Masoot, Fimie Don, Han Zalini, Ikhlas Jalil, Idham Maulana, Anwar Rusdini, Nesa Idrus dan Sri Idrina. Hampir kesemuanya pernah bekerjasama dengan Khairunazwan dan beliau meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada mereka kerana persembahan para pelakon tersebut sememangnya berimpak tinggi dalam mengangkat sesuatu naskhah karya. Menerusi naskhah Asrama-Ra: Dorm Putra (Act II) ini, keupayaan mereka dicabar dalam peringkat yang luar biasa.\nFadhli Masot sebagai watak utama, Ijan menyifatkan tanggungjawab yang dipikulnya semakin mencabar dan seram. \u201cCabaran yang tinggi buat saya apabila kembali ke dunia teater setelah sekian lama fokus pada lakonan drama televisyen. Kedua-duanya adalah ruang peran yang sangat berbeza. Selain itu, untuk menyampaikan cerita naskhah ini, watak Ijan perlu dijiwai dengan fokus dan teliti,\u201d ujar Fadhli.\nHan Zalini, pelakon dan dramawan tempatan yang mempunyai hubungan kolaborasi bersama Khairunazwan sebagai penggiat teater hampir satu dekad menyifatkan Khairunazwan sebagai pengarah yang berfikiran kritis dan berkebolehan dalam mengangkat kisah-kisah yang kontemporari. \u201cBeliau sensitif dan cakna terhadap suara masyarakat dan akan bergerak dalam isu-isu terkini. Walaupun sesetengah isu itu dipandang kecil oleh sesetengah orang, namun naskhah karya ciptaan beliau akan bersuara dengan berani,\u201d jelas Han Zalini.\nTiket pementasan teater ini boleh didapati di www.revolutionstage.com dengan tiga kategori harga yang berbeza. Orang ramai juga boleh menonton teater Asrama-RA All-Star (2014) secara dalam talian menerusi laman sesawang tersebut." "Tradisi Seni Lantai Kolam: Yang Tersurat dan Tersirat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKehidupan di Malaysia diwarnai dengan pencanaian pelbagai budaya. Kita sebagai ahli \u201cKeluarga Malaysia\u201d akur, menghormati dan menikmati keindahan budaya silang di samping pengamalan budaya keturunan sendiri. Misalnya, Malaysia sering dilengkapkan dengan keriangan memasang pelita terutamanya di pekarangan rumah menjelang Ramadan atau menanti ketibaan Syawal. Ada pula waktu kita gembira melihat gegantung \u201cTanglung\u201d berwarna merah manis menghiasi kota pada waktu malam sempena sambutan Tahun Baru Cina atau kagum melihat hiasan tradisi seni lantai \u201cKolam\u201d di hadapan rumah tetangga atau pasar raya terutama ketika menanti sambutan Deepavali. Tradisi seni lantai \u201ckolam\u201d sama seperti seni lain yang mengisi ruang budaya dan mendukung pelbagai maksud tersurat dan tersirat.\nTradisi seni lantai \u201ckolam\u201d ini berasal dari India. \u201cKolam\u201d dipraktikkan sebagai satu daripada amalan seni harian golongan wanita keturunan India di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, seni ini dikenali dengan pelbagai nama mengikut dialek negeri, bahan, warna serta corak reka bentuk yang dihasilkan. Misalnya, \u201crang\u014dli\u201d di Maharashtra, \u201cmuggu\u201d di Andhra Pradesh, \u201csathaya\u201d di Gujarat, \u201cmadna\u201d atau \u201cmandana\u201d di Rajasthan, \u201calpana\u201d atau \u201calpona\u201d di Bengal dan Assam, \u201caripana\u201d di Bihar, \u201cchita\u201d atau \u201cjinnuti\u201d di Orissa, \u201cpookalam\u201d di Kerala, \u201cchowkpurna\u201d atau \u201csona rakhna\u201d di Uttar Pradesh, \u201ckolam\u201d di Tamil Nadu dan sebagainya.\nDi Malaysia pula, tradisi seni lantai yang dihasilkan dengan tepung beras putih bercorak gabungan puluhan titik dan garisan dinamakan sebagai \u201ckolam\u201d. Manakala seni lantai yang dihasilkan dengan beras berwarna pula dinamakan sebagai \u201crangoli\u201d. Seni lantai \u201ckolam\u201d dihasilkan dengan menepati beberapa langkah dan peraturan penghasilan yang bermula dengan penyediaan tepung beras. Beras direndam untuk beberapa jam dan kemudian dicuci. Seterusnya beras yang telah dibersihkan akan dilesung atau dikisar sehingga menjadi serbuk halus dan dihamparkan di atas permukaan rata di bawah cahaya matahari terik sehingga kering. Sebagai langkah seterusnya, lantai dibersihkan untuk melukis \u201ckolam\u201d.\nMasyarakat lama dan penduduk keturunan India di kawasan pedalaman serta perladangan di Malaysia membersihkan halaman rumah menggunakan air yang dicampur dengan najis segar lembu. Permukaan lantai tanah tersebut akan bertukar menjadi warna hijau gelap yang membolehkan reka bentuk \u201ckolam\u201d bergarisan putih nampak dengan jelas dan kemas.\nSetelah permukaan lantai kering, pelukis \u201ckolam\u201d akan membuat perancangan saiz, jenis dan pengkadaran posisi dengan penandaan puluhan titik. Seterusnya, tepung beras digenggam dan dilepaskan antara ibu jari dan jari telunjuk untuk menitik atau melukis garisan. Alunan garisan ini dilukis dengan mencantumkan satu titik dengan titik yang lain ataupun dilukis pada ruang kosong antara titik-titik yang telah sedia ditanda. Akhirnya, lukisan \u201ckolam\u201d yang cantik akan terhasil.\nPenghasilan seni \u201ckolam\u201d mempunyai pelbagai nilai, niat, maksud tersurat serta tersirat. Misalnya, lukisan ini menjadi media penyampai maklumat sambutan keraian atau kedukaan apabila halaman yang dihiasi dengan seni lantai \u201ckolam\u201d menandakan sambutan keramaian dalam keluarga tersebut. Manakala ketiadaan \u201ckolam\u201d pula melambangkan kejadian insiden yang menyedihkan dalam keluarga tersebut.\n\u201cKolam\u201c yang dihasilkan dengan tepung beras menjadi sumber makanan semut, serangga, burung dan sebagainya. Berdasarkan tradisi, melukis \u201ckolam\u201d pada waktu subuh menggalakkan kaum wanita memulakan aktiviti harian dengan menderma kepada ribuan makhluk alam semesta. Seni \u201ckolam\u201d dipercayai membuka ruang untuk mencintai alam serta semua ciptaan Yang Maha Esa. Justeru, amalan seni lantai \u201ckolam\u201d memberi ketenangan pemikiran yang secara tidak langsung membawa keuntungan dan kebaikan dalam sesebuah rumah tangga.\nDari segi maksud tersirat, titik-titik yang statik pada \u201ckolam\u201c diumpamakan sebagai kaum lelaki, manakala alunan garisan yang lembut diibaratkan sebagai kaum wanita. Dalam lukisan \u201ckolam\u201d, semua titik akan disambungkan atau dilindungi dalam lingkungan jalinan garisan. Tiada titik yang dibiarkan bersendirian di luar lingkungan atau dakapan garisan tanpa disambung. Konotasi ini menitikberatkan tanggungjawab serta peri pentingnya kaum wanita dalam sesebuah keluarga terutama keluarga yang besar. \u201cKolam\u201d yang coraknya tertutup dengan titiknya terlindung dalam lingkungan garisan di halaman rumah dipercayai berupaya menghalang kuasa jahat daripada memasuki rumah.\nDi samping itu, aktiviti melukis \u201ckolam\u201d menjadi senaman yang baik dalam kalangan kaum wanita kerana aktiviti ini memerlukan gerakan dan kedudukan posisi anggota badan yang pelbagai. Misalnya, duduk bersila, berlutut, membongkok, meregangkan badan serta menggerakkan tangan dari kiri ke kanan, depan ke belakang atau sebaliknya. Pergerakan sedemikian pada waktu subuh menyumbang kepada kecergasan tubuh badan. Hasil penyelidikan Lakshmipathy (2016) serta Akila & Nandagopal (2015) menunjukkan bahawa melukis \u201ckolam\u201d berupaya melegakan tekanan diri, meningkatkan pemikiran kreatif dan kemampuan penyelesaian masalah serta meningkatkan tenaga positif.\nSeni lantai \u201ckolam\u201d juga merangkumi aktiviti etnomatematik yang melibatkan prinsip matematik dan nilai budaya. Misalnya, lukisan seni \u201ckolam\u201d kaya dengan bentuk geometrik serta organik yang mampu meningkatkan kemahiran pengajian matematik pelukisnya. Hal ini berlaku apabila wanita yang gemar melukis \u201ckolam\u201d berpeluang memperkasakan kemahiran mengira, mengenal pasti bentuk, mengukur, mereka bentuk dan meningkatkan pemikiran kreatif. Di samping itu, Nagata (2015) membuktikan kemampuan pembangunan kognitif dengan menggunakan corak seni \u201ckolam\u201d dalam permainan teka-teki. Maka secara tidak langsung, amalan melukis \u201ckolam\u201d bukan sahaja membantu badan menjadi cergas, malah turut mendidik otak berkembang menjadi cerdas.\nWalaupun amalan tradisi seni \u201ckolam\u201d mempunyai pelbagai kebaikan tetapi warisan seni ini semakin dilupakan lantaran kemajuan teknologi dan perubahan besar dalam corak serta gaya hidup masyarakat kini. Selain itu, kesempitan ruang tempat tinggal, kesibukan kerja, kegagalan menarik minat generasi pewaris dan sebagainya menjadi penyebab utama amalan budaya ini semakin terhakis. Justeru, bolehlah disimpulkan bahawa cabaran besar sedang menanti untuk setiap warisan budaya yang diendahkan tanpa pewarisan yang terancang." "Kalam Karyawan dan Dokumentari Koleksi Nadir Malaysiana Rakaman Budaya Tempatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Majlis Pelancaran dan Tayangan Perdana Dokumentari Khas Kalam Karyawan SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail serta Dokumentari Koleksi Nadir Malaysiana telah berlangsung di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada pagi tadi.\nProgram Kalam Karyawan yang sering kali dianjurkan oleh PNM pada kali ini mengetengahkan warisan kesusasteraan dan kebudayaan negara yang dilaksanakan menerusi pelbagai medium, seperti bual bicara dan pameran koleksi.\nDalam program tersebut, dua dokumentari istimewa dilancarkan, iaitu Dokumentari Khas Kalam Karyawan yang mendedahkan susur galur Datuk Dr. Siti Zainon dari zaman kanak-kanak hinggalah sumbangannya yang besar terhadap tanah air sebagai Sasterawan Negara (SN) ke-14.\nSatu lagi, Dokumentari Koleksi Nadir Malaysiana yang diterbitkan oleh PNM merupakan himpunan koleksi berharga yang merakamkan pemikiran individu atau pandangan masyarakat serta peristiwa bersejarah yang sangat berharga terhadap bangsa dan negara.\nSN Datuk Dr. Siti Zainon sebagai menyatakan penghargaannya menyambut baik usaha PNM,\nPNM sebagai pusat ilmu saling menjalinkan hubungan yang baik kepada para intelektual termasuklah mengadakan usaha murni ini kerana tanpa catatan dan rakaman, kita tidak ada apa-apa.\nBeliau turut berkongsi pengalaman peribadi beliau tentang kesungguhan dan minat yang mendalam terhadap bidang sastera serta kejerihan beliau mempelajari bidang kesusasteraan pada ketika dahulu.\nBeliau tidak melupakan peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha ke arah pengembangan bahasa, sastera dan budaya. \u201cDBP banyak melahirkan tokoh yang menyumbang kepada kemajuan sastera dan budaya kita. DBP menjadi sebuah tapak pertama untuk mengumpulkan sasterawan negara,\u201c ujar SN Datuk Dr. Siti Zainon.\nDalam pada itu, beliau menghargai sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan yang diadakan pada bulan Oktober setiap tahun yang sangat penting untuk mengharmonikan budaya dan bahasa dalam masyarakat pelbagai kaum.\nDalam majlis yang sama, Timbalan Ketua Pengarah PNM, Encik Edy Irwan Zulkafli dalam ucap utamanya berkata, pelancaran dua dokumentari khas tersebut membuktikan usaha PNM untuk melestarikan sastera dan budaya negara kepada masyarakat umum.\nBeliau berkata,\nKami sentiasa menghargai perjuangan serta mengaspirasikan pencapaian tokoh karyawan negara yang banyak menyumbang kepada perkembangan sastera dan budaya serta berjaya membentuk insaniah melalui karya hebat mereka.\nBeliau berharap usaha melalui dokumentari istimewa ini secara tidak langsung dapat mempromosikan warisan kesusasteraan negara dan koleksi Nadir Malaysiana sebagai produk pelancongan ilmu dan memberikan pendedahan kepada umum tentang nilai kebudayaan di negara ini.\nPelancaran dua buah dokumentasi ini disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Encik Mohd Yusri Mohd Yusof. Katanya, pelancaran dua buah dokumentari ini sejajar dengan aspirasi Dasar Kebudayaan Negara bagi membina negara Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat berbudaya tinggi. Tambahnya,\n\u00a0Saya optimis dengan terbitnya dokumentari yang terisi dengan maklumat yang sahih daripada pelbagai sumber yang kemudiannya dipersembahkan dalam bentuk yang menarik dan kreatif serta publisiti yang aktif menerusi media sosial berpotensi untuk menjadikan dokumentari sebagai bahan rujukan sejarah yang berharga." "Kata Penguat Bebas\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata penguat ialah kata yang biasanya menguatkan kata adjektif. Kehadirannya mungkin di hadapan atau di belakang kata adjektif. Dalam bahasa Melayu, terdapat tiga jenis kata penguat, iaitu kata penguat hadapan seperti terlalu dan paling, kata penguat belakang seperti benar dan sekali dan kata\u00a0 penguat bebas yang meliputi kata sangat, amat dan sungguh.\nKata penguat bebas biasanya boleh hadir di hadapan atau di belakang kata adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a.\u00a0 Dia amat/sangat/sungguh marah.\n1b.\u00a0 Dia marah amat/sangat/sungguh.\nKata penguat bebas juga boleh berada di hadapan atau di belakang kata adjektif dalam ayat yang ditambah frasa atau klausa keterangan. Sila lihat contoh yang berikut:\n2a.\u00a0 Dia amat/sangat/sungguh marah pada hari ini.\n2b.\u00a0 Dia marah amat/sangat/sungguh pada hari ini.\n3a.\u00a0 Dia amat/sangat/sungguh marah apabila dicabar orang.\n3b.\u00a0 Dia marah amat/sangat/sungguh apabila dicabar orang.\nDalam kelompok ayat 2, terdapat frasa keterangan pada hari ini. Namun begitu, kedudukan kata penguat bebas tetap bebas. Dalam kelompok ayat 3, terdapat klausa keterangan waktu apabila (dia) dicabar orang, tetapi kata penguat bebas tetap boleh berada di hadapan atau di belakang kata adjektif marah.\nKata penguat bebas boleh juga ditambah pada sesetengah kata kerja yang berkaitan dengan perasaan, seperti kata terkejut atau terperanjat. Sila lihat contoh yang berikut:\n4a.\u00a0 Dia amat/sangat/sungguh terkejut.\n4b.\u00a0 Dia terkejut amat/sangat/sungguh.\n5a.\u00a0 Dia amat/sangat/sungguh terkejut pada hari ini.\n5b.\u00a0 Dia terkejut amat/sangat/sungguh pada hari ini.\n6a.\u00a0 Dia amat/sangat/sungguh terkejut apabila (dia) terpilih.\n6b.\u00a0 Dia terkejut amat/sangat/sungguh apabila (dia) terpilih.\nKata penguat bebas tidak boleh ditambah pada kata adjektif ganda atau frasa adjektif yang sudah mendukung maksud \u201ckesangatan\u201d. Sila lihat contoh yang berikut:\n7a.\u00a0 Rambutnya kusut-masai.\n7b.\u00a0 Rambutnya amat/sangat/sungguh kusut.\n7c.\u00a0 *Rambutnya amat/sangat/sungguh kusut-masai.\n8a.\u00a0 Pahlawan itu gagah berani.\n8b.\u00a0 Pahlawan itu amat/ sangat/sungguh gagah/berani.\n8b.\u00a0 *Pahlawan itu amat/sangat/sungguh gagah berani\nWalaupun kata penguat bebas dikatakan sebagai berkedudukan bebas, ada kalanya kata penguat itu hanya boleh berada di hadapan kata adjektif. Hal ini berlaku apabila kata adjektif yang berkenaan dikaitkan dengan kata nama atau frasa nama dan diselangi oleh kata pengantar objek atau kata sendi nama akan. Sila lihat contoh yang berikut:\n9a.\u00a0 Dia amat/sangat/sungguh marah akan adiknya.\n9b.\u00a0 *Dia marah amat/sangat/sungguh akan adiknya.\n10a.\u00a0 Dia amat/sangat/sungguh rindu akan neneknya.\n10b.\u00a0 *Dia rindu amat/sangat/sungguh akan neneknya.\nAyat 9b dan 10b salah kerana dalam kedua-dua ayat berikut, kata adjektif emotif seperti marah dan rindu harus diikuti terus oleh kata pengantar objek akan dan kata/frasa nama tanpa diselangi oleh kata penguat bebas.\nKeadaan ini tetap benar jika kata adjektif rindu ditambah imbuhan untuk menjadikannya kata kerja transitif merindui. Sila lihat contoh yang berikut:\n11a.\u00a0 Dia amat/sangat/sungguh merindui neneknya.\n11b.\u00a0 *Dia merindui amat/sangat/sungguh neneknya.\nAyat 11b salah kerana kata kerja transitif merindui mesti diikuti terus oleh objek neneknya, tanpa diselangi oleh kata penguat bebas.\nKata penguat bebas amat dan sangat boleh juga ditambah pada kata kerja yang kata dasarnya tidak berkaitan dengan perasaan, tidak kira dalam ayat dengan ragam aktif atau pasif. Sila lihat contoh yang berikut:\n12a.\u00a0 Dia amat/sangat memerlukan bantuan.\n12b.\u00a0 Bantuan amat/sangat diperlukan olehnya.\n13a.\u00a0 Perbuatannya amat/sangat menyusahkan kita.\n13b.\u00a0 Kita amat/sangat disusahkan oleh perbuatannya.\n14a.\u00a0 Dia amat/sangat terkenal.\n14b.\u00a0 Dia amat/sangat berilmu.\nKata penguat bebas juga boleh ditambah pada kata adjektif yang berimbuhan ke-.-an. Sila lihat contoh yang berikut:\n15a.\u00a0 Gaya hidupnya amat/sangat/sungguh kebaratan.\n15b.\u00a0 Gaya hidupnya kebaratan amat/sangat/sungguh.\nKata penguat bebas boleh digandingkan sesama sendiri dalam keadaan tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:\n16a.\u00a0 Dia amat sangat sedih.\n16b.\u00a0 Dia sungguh amat sedih.\n17a.\u00a0 Dia mengalami kesusahan yang amat sangat.\n17b.\u00a0 Penyakitnya bertambah sangat.\nDalam ayat 17a,\u00a0 gandingan amat sangat bermakna dan berfungsi seperti kata adjektif teruk. Begitu juga keadaannya bagi kata sangat dalam ayat 17b. Hal sedemikian tercatat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2005: 1385).\nKata penguat bebas juga boleh ditambah awalan teR-. Sila lihat contoh yang berikut:\n18a.\u00a0 Dia teramat/tersangat sedih.\nKata penguat bebas juga boleh digandingkan dengan kata penguat belakang. Sila lihat contoh yang berikut:\n19a.\u00a0 Pantai itu amat/sangat/sungguh indah sekali.\n19b.\u00a0 Pantai itu amat/sangat/sungguh indah benar.\n19c.\u00a0 Pantai itu amat/sangat/sungguh indah nian.\nKata penguat bebas juga boleh digandingkan dengan sesetengah kata tugas. Sila lihat contoh yang berikut:\n20a.\u00a0 Dia amat/sangat kurang berputus asa.\n20b.\u00a0 Dia amat/sangat tidak bersetuju dengan cadangan itu.\n20c.\u00a0 Dia amat/sangat ingin bercuti.\n20d.\u00a0 Dia memang amat/sangat berbakat.\n20e.\u00a0 Dia adalah amat/sangat berkebolehan.\n20f.\u00a0\u00a0 Dia berlari dengan amat/sangat pantas.\nDalam ayat 20a, kata penguat bebas bergandingan dengan kata bandingan kurang. Dalam ayat 20b, kata penguat bebas bergandingan dengan kata nafi tidak. Dalam ayat 20c, kata penguat bebas bergandingan dengan kata bantu ragam ingin. Dalam ayat 20d, kata penguat bebas bergandingan dengan kata penegas memang. Dalam ayat 20e, kata penguat bebas didahului oleh kata pemeri adalah. Dalam ayat 20f\u00a0 pula, kata penguat bebas diikuti oleh kata adverba pantas.\nKata penguat sangat dan sungguh dapat digandakan sebagai penegasan. Sila lihat contoh yang berikut:\n21a.\u00a0 Rumahnya sangat-sangat cantik.\n21b.\u00a0 Dia berusaha sungguh-sungguh.\nDalam ayat 21b, kata sungguh-sungguh juga berfungsi sebagai adverba." "Hari Warisan Audiovisual Mempromosikan Nilai Kebersamaan, Keadilan dan Kesejahteraan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bersempena sambutan Hari Warisan Audiovisual yang disambut pada 27 Oktober setiap tahun, Arkib Negara Malaysia (ANM) telah melaksanakan pelbagai program sepanjang hari tersebut. Pengerusi Lembaga Penasihat ANM, Tan Sri Dato\u2019 Haji Alimuddin Haji Mohd Dom telah merasmikan sambutan tersebut yang berlangsung di Auditorium Pusat Pendokumentasian dan Pemeliharaan Audiovisual Negara.\nMenurut Tan Sri Dato\u2019 Haji Alimuddin, tema yang diketengahkan pada tahun ini adalah \u201cDokumentari Warisan Bahan Audiovisual ke Arah Masyarakat yang Inklusif, Adil dan Makmur\u201d bertujuan untuk mempromosikan nilai-nilai kebersamaan, keadilan dan kesejahteraan menerusi bahan-bahan warisan dokumentari.\n\u201cJika diteliti dengan lebih mendalam, bahan-bahan warisan ini sangat penting kerana terdapat pelbagai rakaman peristiwa, warna-warni kehidupan dan pelajaran yang memungkinkan nilai-nilai murni dapat dikongsi dengan masyarakat pada hari ini,\u201d ujar Tan Sri Dato\u2019 Haji Alimuddin sewaktu berucap pada hari sambutan tersebut.\nTambah beliau lagi, sambutan ini juga bertujuan untuk memberi kesedaran dan kefahaman tentang kepentingan memelihara bahan audiovisual sebagai khazanah warisan negara kerana menerusi bahan-bahan tersebut, pelbagai suka dan duka peristiwa bersejarah disimpan, direkod dan dirakam.\n\u201cBahan-bahan warisan ini bukan hanya disimpan dan dipelihara semata-mata, tetapi adalah penting sebagai rujukan dan digunakan oleh orang ramai dalam mengkaji pelbagai aspek kehidupan masyarakat pada zaman dahulu,\u201d jelas Tan Sri Dato\u2019 Haji Alimuddin.\nTan Sri Dato\u2019 Haji Alimuddin turut berkata, bahan audiovisual merupakan sebuah jendela warisan yang memperlihatkan pelbagai peristiwa dan sejarah dunia apabila kita tidak dapat menyaksikan peristiwa dan kisah sejarah yang berlaku dalam negara kita pada zaman lalu.\nDi samping itu, ANM turut mengadakan acara simbolik penyerahan bahan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) kepada World Heritage Moving Image Centre (WHMIC) dan menyampaikan sijil penghargaan penyerahan bahan tersebut.\nDalam majlis yang sama, Ketua Pengarah ANM, Encik Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata, tanpa pengetahuan dan tanggungjawab untuk memelihara, mendigitalkan dan memberikan akses, khazanah sesebuah negara akan hilang untuk selama-lamanya.\n\u201cUsaha memelihara warisan dan khazanah audiovisual ini amat penting untuk tujuan rujukan serta penyelidikan sebagai sumber maklumat berharga serta cerminan kepelbagaian budaya, sosial dan masyarakat negara ini. Tambahan lagi, bahan audiovisual dapat menceritakan kisah kita, kebenaran sejarah kita dan kehadiran kita semua,\u201c jelas Encik Jaafar Sidek.\nSeterusnya majlis diteruskan dengan program Sembang-Sembang Audiovisual bersama dengan empat panel yang terdiri daripada Profesor Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dato\u2019 Profesor Ts. Dr. A. Razak Haji Mohaideen; Pengarah Bahagian Makmal FINAS, Puan Zuramashana Zakaria; Kurator Bahagian Daftar Warisan, Jabatan Warisan Negara, Puan Rokiah Abdul Samat dan Pengarah WHMIC, Ts. Azharul Azmir Kamarulzaman. Manakala penyampai berita TV9 merangkap penerbit berita digital TV3 Media Prima Berhad, iaitu Ahmad Barr Zainal Abidin bertindak selaku moderator program sembang-sembang tersebut.\nSelain itu, dalam memeriahkan sambutan Hari Warisan Audiovisual Sedunia 2022, pihak ANM turut mengadakan pelbagai aktiviti lain seperti tayangan filem dokumentari, pameran pengurusan bahan audiovisual, demonstrasi pemuliharaan bahan arkib, pendaftaran online finding aid (FIA), klinik konsultansi pengurusan rekod kerajaan dan reruai pameran warisan pada hari tersebut. Rakaman program sambutan tersebut boleh ditonton secara dalam talian melalui saluran Facebook Arkib Negara Malaysia." "Luncai Emas dan K-KOMM Semarakkan Irama Joget\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada petang ini digemakan dengan irama joget hasil kolaborasi syarikat rakaman Luncai Emas Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) yang melibatkan empat universiti awam, iaitu Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bersempena Majlis Pelancaran Album Joget Made in Malaysia yag disempurnakan oleh Dato\u2019 Sri Haji Mohammad Mentek, Ketua Setiausaha K-KOMM.\n\u201cSaya sememangnya bercita-cita agar irama tradisi Malaysia menjadi kekuatan dalam penciptaan muzik moden Malaysia. Maka itu, dengan melihat kerancakan populariti muzik dance dan world beat, maka saya terpanggil untuk menjadikan rentak tradisi Malaysia sebagai taruhan, kerana elemen tarian ada pada semua tradisi ini. Joget juga dipilih sebagai taruhan pertama,\u201d ujar Dato\u2019 M. Nasir, Pengarah Urusan Luncai Emas Sdn. Bhd. dan merupakan karyawan unggul muzik nusantara dalam majlis tersebut.\nMenerusi penghasilan karya terbaharu ini, Dato\u2019 M. Nasir berharap agar kehadiran album joget ini mampu menjentik minat generasi muda agar meminati serta memperkasakan lagu-lagu baharu dengan suntikan elemen tradisi. Seterusnya akan dapat mengangkat identiti muzik negara di persada antarabangsa supaya dapat dibezakan antara identiti muzik tempatan dengan muzik dari luar.\nEnam orang penyanyi muda muka baharu telah terlibat dalam projek penerbitan album ini, iaitu Jaclyn Chia, Didie Shazry (UPSI), Jannati Alaudin (UMK), Lybdie, Puteri Khareeza, Azizul Hakim dan Zarina Nordin (ASWARA).\nPenyanyi rap, Kmy Kmo dan Luca Sickta serta artis indie, Ramayan dan Iqbal M turut mendedikasikan hasil karya mereka untuk projek album ini.\nMenurut Encik Khirin Omar (Keon Omar), beliau menyifatkan usaha menerbitkan album berkonsepkan joget ini mampu melestarikan irama warisan ini. Tambah beliau lagi, setiap lagu dalam album ini akan dipasarkan secara digital dalam setiap laman strim seperti Spotify, Apple Music dan YouTube. Pelancaran judul lagu dibuat secara berperingkat-peringkat.\n\u201cTaruhan projek pertama ini juga sebagai penanda aras untuk usaha melestarikan elemen muzik warisan negara termasuklah inang, zapin, masri dan lain-lain yang kelak akan menjadi kebanggaan generasi masa depan negara,\u201d kata Dato\u2019 M. Nasir mengakhiri ucapannya sebagai tanda penghargaan dan sokongannya kepada karyawan muzik generasi baharu dalam memartabatkan elemen muzik warisan negara.\nDalam ucapan pelancaran, Dato\u2019 Sri Haji Mohammad Mentek, Ketua Setiausaha K-KOMM berasa amat teruja dapat menyaksikan serta meraikan kejayaan Luncai Emas dalam merealisasikan Dana Kandungan Digital Muzik bagi memperkaya khazanah muzik tanah air. Kolaborasi karyawan akademik dan karyawan industri akan memberikan impak kepada projek album ini.\nTurut hadir dalam pelancaran album ialah penerbit, pencipta dan penggubah lagu serta penulis lirik lagu projek album ini di samping kehadiran tetamu kehormat seperti Dato\u2019 Sri Dr. Irmohizam Ibrahim, Pengarah Eksekutif WTCKL, Norjanah Yusof, Ketua Bahagian Pembinaan Bakat DBP dan Profesor Madya Dr. Raja Iskandar Raja Halid, pensyarah di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK merangkap penasihat seni warisan yang bertindak sebagai pemantau irama joget yang ditonjolkan dalam setiap lagu-lagu yang telah dihasilkan.\nUntuk makluman, album ini menggabungkan kepakaran penggiat seni profesional, pensyarah, pelajar, alumni muzik dan seni dari empat IPTA bersama dengan artis baharu.\nAlbum ini akan dipasarkan ke seluruh negara melalui pengedaran digital bermula pertengahan November ini. Tajuk lagu Kalungan Sukma ciptaan Ayob Ibrahim merupakan satu daripada lagu yang dimuatkan dalam album ini. Lirik lagunya dihasilkan oleh Rabi\u2019ahtuladawyah Md. Saleh dengan nama penanya, iaitu Suri Liu yang juga merupakan Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka." "Metti: Warisan dan Tradisi Cincin Kaki\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCincin kaki atau metti sangat bermakna kepada masyarakat penganut agama Hindu. Menurut orang yang bijak pandai, metti merupakan simbol yang mencerminkan status perkahwinan seseorang. Metti diguna pakai oleh kaum wanita, manakala kaum lelaki pula memakai minji.\nPada lazimnya, seorang wanita akan menundukkan kepala ketika berjalan. Justeru, untuk mengetahui sama ada seseorang lelaki itu sudah berkahwin atau belum, dia boleh melirik ke arah jari kaki lelaki berkenaan. Jika terdapat minji pada jari kakinya, maka wanita boleh mengenal pasti bahawa lelaki itu sudah berkahwin.\nMetti atau bichiya dalam bahasa Hindi,\u00a0mettelu\u00a0dalam bahasa Telugu dan kalungura\u00a0dalam bahasa Kannada, selalunya diperbuat daripada logam perak. Jika disoal mengapa metti diperbuat daripada perak dan bukannya emas, maka inilah jawapannya. Masyarakat Hindu percaya bahawa emas adalah unsur yang suci, maka logam tersebut tidak wajar digunakan sebagai perhiasan kaki.\nEmas juga dikaitkan dengan Dewi Lakshmi, iaitu Tuhan kekayaan dalam masyarakat penganut agama Hindu, maka tidak wajar jika barang kemas yang diperbuat daripada emas dipakai pada anggota badan yang berada di bawah paras pinggang.\nMetti Melambangkan Peranan Seorang Isteri dan Saudara Perempuan\nMenurut kepercayaan masyarakat penganut agama Hindu, wanita yang sudah berkahwin juga memakai metti pada kedua-dua belah kaki, sebentuk cincin simbol untuk suami dan sebentuk lagi cincin untuk adik atau abang kandung wanita itu. Signifikasinya adalah wanita yang kematian suami akan diamanahkan untuk dijaga oleh saudara lelaki yang akan mengambil alih tugas dan tanggungjawab sebagai pelindung. Wanita yang kematian suami juga diwajibkan untuk menanggalkan cincin kaki yang dipakaikan oleh mendiang suami, sama seperti menanggalkan thaali daripada leher.\nMetti dan Sains\nMetti turut mempunyai kepentingan dari sudut sains. Bagi seorang wanita yang sudah berkahwin, pemakaian metti pada kedua-dua belah kaki dikatakan dapat meregulasi kitaran haid dan meningkatkan tahap kesuburan mereka. Hal ini secara langsung dapat meningkatkan peluang mereka untuk hamil.\nMenurut sains, jari kedua pada kaki wanita, uterus dan jantung saling berhubung antara satu dengan yang lain melalui saraf-saraf yang disebut medial plantar dan lateral plantar. Metti juga dipercayai berfungsi sebagai alat untuk awet muda apabila kaki dan metti saling bergeseran ketika berjalan. Tambahan pula, logam perak yang turut berfungsi sebagai konduktor elektrik akan menyerap tenaga dari tanah dan mengalirkannya ke seluruh badan. Hal ini secara tidak langsung dapat menyegarkan tubuh badan.\nBagi kaum lelaki pula, mereka percaya bahawa pemakaian cincin kaki (minji) pada jari kaki dapat meningkatkan daya kekuatan seksualiti atau daya kemaskulinan.\nGambaran Metti dalam Novel\nDalam novel berjudul Tak Sengaja Cinta terbitan Penerbitan Fajar Pakeer (2014, halaman 238-239), penulis menonjolkan signifikasi metti bagi tujuan berkongsi ilmu mengenai amalan masyarakat Hindu dalam majlis perkahwinan. Berikut adalah petikan tersebut:\n\u201cPada pusingan terakhir, Sham memakaikan cincin kaki atau metti pada jari kedua di kaki Roshini sebagai tanda mereka sudah berkahwin. Roshini turut memakaikan cincin pada jari kaki Sham. Cincin kaki ini mempunyai simboliknya. Seorang lelaki akan dapat mengetahui sekiranya wanita itu sudah berkahwin dengan melihat tali suci pada lehernya. Hal ini kerana orang lelaki selalunya berjalan tanpa menundukkan kepala. Bagi seorang perempuan pula, dia sentiasa akan tunduk apabila berjalan bersebelahan kaum lelaki. Maka itu, cincin kaki akan membantunya mengenal pasti sama ada status lelaki itu masih bujang atau sudah berumah tangga. Dalam kalangan masyarakat moden kini, memang jarang lelaki mengenakan cincin kaki. Malah, ada juga wanita yang berani menanggalkan tali suci ketika keluar. Namun begitu, di sesetengah kawasan, masih terdapat segolongan masyarakat beragama Hindu yang masih mengamalkan adat tradisi ini.\u201d\n\u00a0\nTernyata metti sangat unik dan mempunyai kepentingan yang besar dalam kalangan masyarakat penganut agama Hindu sejak dahulu. Walau bagaimanapun, generasi pada masa kini kurang memahami tentang kepentingan metti dan minji. Era kini cincin kaki sudah menjadi simbol fesyen dan ramai yang sudah mula memakainya tanpa mengetahui hikmah di sebalik pemakaiannya.\nPada zaman ini, semakin ramai wanita kaum India yang beragama Hindu tidak memakai metti lagi. Antara alasan yang diberikan termasuklah tidak selesa kerana perlu memakai kasut tertutup serta berasa malu untuk memakainya kerana takut digelar kuno atau ketinggalan zaman.\nJusteru, rencana ini ditulis dengan harapan agar para pembaca menyedari kepentingan cincin kaki yang berguna dari pelbagai sudut dan aspek." "Festival Wau Kapal Selangor Menonjolkan Budaya dan Warisan Negeri Selangor\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBanting \u2013 Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Negeri Selangor\u00a0\u00a0mengumumkan secara rasmi\u00a0program khas Pesta Seni dan Kebudayaan Negeri Selangor\u00a0(PSKNS)\u00a02022.\nPSKNS 2022 ini merupakan suatu program bersiri yang menyediakan beberapa acara seni dan budaya dengan menonjolkan identiti kemasyarakatan dan kebudayaan rakyat negeri Selangor. Sebanyak lima acara utama dan lapan acara poket sudah dikenal pasti untuk diadakan sepanjang pesta tersebut yang telah pun bermula pada 1 Oktober lalu sehingga 31 Disember 2022 di lokasi-lokasi terpilih sekitar negeri Selangor.\nLima acara utama tersebut adalah Festival Wau Kapal Selangor, Manifestasi Keroncong Selangor, Fiesta Nasi Ambeng Tradisional Selangor 2022, Konsert Rentak Selangor dan Program Menjunjung Kasih Tuanku: Temasya Silat Seni Selangor serta Temasya Cempuling Selangor. Acara-acara ini merupakan tonggak PSKNS 2022.\nMajlis Perasmian Festival Wau Kapal Selangor bersempena dengan Pesta Seni dan Kebudayaan Negeri Selangor 2022 yang berlangsung pada 28 hingga 30 Oktober 2022\u00a0di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat, Selangor ini disempurnakan oleh Yang Berhormat (YB) Tuan Borhan Aman Shah, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Negeri Selangor.\nTerdapat pelbagai aktiviti menarik sepanjang Festival Wau Kapal Selangor berlangsung. Antaranya termasuklah pertandingan wau kategori terbuka negeri Selangor, kategori wau kapal tradisi tercantik, kategori terbuka IPT dan sekolah-sekolah negeri Selangor, bengkel pembuatan wau kapal negeri Selangor, pertunjukan wau sobek serta jualan wau kapal, barangan hiasan, jualan makanan dan sebagainya.\nMenurut YB Tuan Borhan, acara pertandingan wau kapal ini bertujuan memperkenalkan \u201cWau Kapal\u201d sebagai identiti wau negeri Selangor kepada orang awam. Festival ini juga diharapkan dapat memupuk minat masyarakat terhadap permainan tradisional dan menggalakkan kelestarian aktiviti kebudayaan.\nDi samping itu, Pertandingan Wau Kapal Selangor bersempena Festival Wau Kapal Selangor ini turut menawarkan hadiah bernilai lebih RM30 000 untuk dimenangi dalam pelbagai kategori termasuklah penyertaan daripada peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah.\n\u201cFestival ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk memberi pendedahan kepada orang ramai tentang identiti Wau Kapal Selangor selain dapat mengangkat seni budaya tradisional bernilai tinggi di negeri Selangor dan dapat memastikan pemuliharaan terhadap kelangsungan wau kapal untuk warisan generasi muda,\u201d ujar YB Tuan Borhan.\nPSKNS\u00a02022\u00a0ini diselaraskan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Selangor (MKNS) dan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).\u00a0Kerajaan Negeri Selangor berhasrat agar pesta ini mampu menjadikan negeri Selangor sebagai destinasi pelancongan, seni, budaya dan warisan negara yang utama pada masa depan." "Pertandingan Koir Menjunjung Aspirasi Perpaduan Keluarga Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pertandingan Koir Perpaduan Keluarga Malaysia: Piala Menteri Perpaduan Negara Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 dengan tema \u201cKeluarga Malaysia Teguh Bersama\u201d telah berlangsung pada 30 Oktober 2022 (Ahad) pada pukul 8.00 pagi hingga 2.00 petang di Hall 7, New Wing, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).\nMajlis anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini dirasmikan oleh Menteri Perpaduan Negara, Yang Berhormat (YB) Datuk Halimah Mohamed Sadique.\nMenurut YB Datuk Halimah, pertandingan koir pada tahun ini mempunyai matlamat menjunjung aspirasi Keluarga Malaysia untuk terus memupuk semangat kebersamaan dan penghayatan terhadap identiti nasional dalam kalangan seluruh masyarakat Keluarga Malaysia.\n\u201cPelaksanaan program-program perpaduan seperti ini akan dapat memupuk penghayatan perpaduan dan patriotisme dalam kalangan masyarakat. Bahkan, pertandingan yang mengutamakan penglibatan pelbagai kaum sebagai syarat utama, selain usaha kementerian menyemai semangat mencintai bahasa dan menyemarakkan ukhuwah Keluarga Malaysia sangat dialu-alukan demi merealisasikan agenda perpaduan negara,\u201d ujar YB Datuk Halimah.\nYB Datuk Halimah turut berkata, kerjasama strategik antara KPN dan DBP perlu diperbanyak dan dipergiat supaya usaha memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan Keluarga Malaysia yang berbilang bangsa dan budaya dapat terus dipertingkatkan serta disemarakkan.\nTambah beliau lagi, usaha-usaha penghayatan perpaduan perlu dilaksanakan pada segenap peringkat demi melahirkan semangat kebersamaan untuk dihayati dan dirasai oleh semua masyarakat melalui seni muzik.\n\u201cSeni muzik dan koir seperti ini berperanan dalam mengekalkan dan memperkukuh identiti sesebuah negara serta masyarakatnya yang berbilang bangsa. Selain itu, seni kata dan lirik lagu yang bersandarkan kepada semangat perpaduan dan patriotisme turut dapat menyentuh sanubari setiap individu yang mendengarnya. Bahkan, sesiapa yang turut bersama-sama menyanyi dan mendendangkan melodinya yang cukup indah dapat menanam perasaan cinta dan patriotik kepada tanah air,\u201d jelas YB Datuk Halimah.\nDi samping itu, sebanyak 16 kumpulan daripada 130 penyertaan dari seluruh negeri telah terpilih menyertai Pertandingan Koir Perpaduan Keluarga Malaysia: Piala Menteri Perpaduan Negara Peringkat Kebangsaaan Tahun 2022 ini.\nDalam pertandingan koir tersebut, kumpulan koir The North Harmony dari Sabah muncul sebagai johan pertandingan koir dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM10 000, Piala Menteri Perpaduan Negara, sijil dan hadiah iringan tajaan DBP.\nNaib johan pula dirangkul oleh kumpulan koir Anak Seni Warisan Kenyalang dari Sarawak, manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh M.I.A Ensemble dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.\nKedua-dua pasukan tersebut masing-masing berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM8000 dan RM6000 beserta piala, sijil dan hadiah iringan tajaan DBP.\nManakala kumpulan koir Church Blessed Sacramant Labuan (CBSL) dari Sabah dan kumpulan koir Gema Maya dari Perlis menerima hadiah sagu hati, wang tunai sebanyak RM2000 beserta sijil dan hadiah iringan tajaan DBP.\nTurut hadir menyerikan majlis ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dato\u2019 Indera Noridah Abdul Rahim; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara (Perancangan dan Dasar), Dr. Kang Tong Hum; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan; Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran; Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Dato\u2019 Hajah Norison Ramli dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Tuan Haji Mohd Salahuddin Datuk Paduka Mohamed." "Kementerian Perpaduan Negara dan DBP Jalin Kerjasama Martabat Bahasa Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, Kementerian Perpaduan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah memeterai ikatan kerjasama melalui Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Perpaduan Negara dengan DBP yang berlangsung pada 31 Oktober 2022.\nMajlis MoU yang berlangsung di Aras 31, Sanggar Tun Sri Lanang, DBP itu disempurnakan oleh Dato\u2019 Hajah Norison Ramli, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional yang mewakili Kementerian Perpaduan Negara, dan Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP, yang mewakili DBP. Upacara penandatanganan itu disaksikan oleh Dato\u2019 Indera Noridah Abdul Rahim, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara yang mewakili Yang Berhormat (YB) Datuk Halimah Mohamed Sadique, Menteri Perpaduan Negara, dan Profesor Dato\u2019 Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.\nProfesor Dato\u2019 Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa kerjasama antara DBP dengan Kementerian Perpaduan Negara telah dipupuk sejak sekian lama dengan penganjuran pelbagai kegiatan kebahasaan, antaranya termasuklah Pertandingan Koir Perpaduan Keluarga Malaysia Piala Menteri Perpaduan Negara Peringkat Kebangsaan Tahun 2022, Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan, dan Dekad Membaca Kebangsaan.\n\u201cBerdasarkan paduan yang baik antara Kementerian Perpaduan Negara dengan DBP dalam pelaksanaan pelbagai kegiatan, maka pada hari ini kita mengikatkan perjanjian persefahaman untuk menunjukkan tanda dan bukti bahawa kita lebih serius, dan mudah-mudahan pelbagai kegiatan dapat dilaksanakan dengan lebih terancang,\u201c kata Profesor Dato\u2019 Seri Dr. Awang Sariyan.\n\u201cDalam hal ini juga, saya ingin memberikan penegasan tentang peri pentingnya bahasa kebangsaan sebagai satu daripada unsur sumber perpaduan kebangsaan. Saya perhatikan bahawa dalam buku Dasar Perpaduan Negara turut ditegaskan kepentingan bahasa kebangsaan terhadap pelbagai peringkat masyarakat. Maka itu, DBP sebagai organisasi yang diberikan amanah oleh negara untuk memajukan bahasa dan sastera kebangsaan, serta ilmu dalam pelbagai bidang, tentulah akan melibatkan diri agar cita-cita untuk mengangkat bahasa kebangsaan sebagai satu daripada tunjang perpaduan dapat dilaksanakan dengan berkesan,\u201c tambah Profesor Dato\u2019 Seri Dr. Awang Sariyan.\nDalam ucapan YB Datuk Halimah Mohamed Sadique, Menteri Perpaduan Negara, yang dibacakan oleh Dato\u2019 Indera Noridah Abdul Rahim, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, beliau menghargai kesudian DBP untuk bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu di segenap peringkat, termasuklah dalam pemerkasaan agenda perpaduan nasional yang diterajui oleh Kementerian Perpaduan Negara.\n\u201cBahasa Melayu harus bergerak seiring dengan agenda perpaduan negara. Dalam demografi dinamik yang majmuk dan berbilang bangsa seperti negara kita, pembentukan identiti nasional di bawah satu bahasa, iaitu bahasa Melayu, adalah penting bagi membentuk penyatupaduan menyeluruh masyarakat. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu juga merupakan bahasa perpaduan dalam membentuk integrasi antara kepelbagaian budaya Malaysia yang rencam.\u201c\n\u201cStatus bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah disepakati sebagai satu daripada elemen kontrak sosial dalam pembentukan negara bangsa Malaysia yang merdeka dan berdaulat, selain kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan dan kedaulatan Raja-raja Melayu yang dijunjung hingga hari ini. Hal ini merupakan satu manifestasi perpaduan dan toleransi yang telah dibina oleh tokoh-tokoh kemerdekaan agar generasi masyarakat majmuk Keluarga Malaysia pada hari ini terus bersatu padu dan bertoleransi melalui identiti yang sama, iaitu bahasa,\u201c kata YB Datuk Halimah Mohamed Sadique.\nKerjasama antara Kementerian Perpaduan Negara dengan DBP bertujuan untuk memupuk rasa cinta dan megah kepada bahasa kebangsaan, mewujudkan suasana penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan, seterusnya menyemarakkan pembentukan identiti nasional dan semangat jati diri untuk mencapai aspirasi perpaduan Keluarga Malaysia.\nMajlis yang dihadiri oleh kira-kira 40 orang tetamu itu diserikan dengan deklamasi puisi yang bertajuk \u201cDalam Kesopanan Kita\u201c oleh Datuk Rahman Shaari, Sasterawan Negara ke-15. Hadir sama bagi meraikan majlis Dr. Kang Tong Hum, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Dasar) Kementerian Perpaduan Negara, Tan Sr Syed Danial Syed Ahmad, Ahli Lembaga Pengelola DBP, pengarah jabatan dan ketua bahagian." "Kemeriahan Kampung Warna-Warni Perlis Mewarnai SKAW 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Perlis \u2013 Para peserta Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri 33/2022 begitu teruja dengan sambutan dan layanan istimewa daripada penduduk kampung dan pegawai urus setia Kayuhan Khas SKAW yang dilaksanakan di sekitar kawasan Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Seberang Ramai Kuala Perlis pada 30 Oktober 2022 yang lalu.\nSKAW 2022 yang berlangsung selama tiga hari di Perlis bermula pada 27 hingga 30 Oktober 2022 itu melibatkan Komander-Komander Askar Wataniah Siri 500 dari seluruh negara dengan penganjuran pelbagai aktiviti, antaranya termasuklah program kayuhan santai di Kampung Seberang Ramai yang menjadi acara penutup.\nProgram dimulakan dengan majlis perasmian serentak rumah negeri-negeri oleh setiap Komander Rejimen Askar Wataniah Siri 500, seterusnya diikuti majlis perasmian Laman Kanak-Kanak SKAW, serta acara eksplorasi berbasikal di sekitar kawasan kampung berkenaan. Dalam program tersebut, pelbagai tugasan perlu diselesaikan oleh para peserta, antaranya termasuklah membuat dekorasi laksa Kuala Perlis, demo tarian canggung, mengarang pantun, mengail ketam, membuat kuih tradisional dan bermain Woodball.\nDi samping itu, para perserta juga perlu menghasilkan video berdurasi dua minit bagi mempromosikan keunikan Kampung Warna-Warni ini dan dimuat naik ke laman sosial masing-masing menggunakan tanda pagar #skawmaips. Setiap kumpulan peserta turut menghasilkan hamper menggunakan produk makanan tradisional Perlis yang diusahakan oleh penduduk kampung untuk diserahkan kepada rumah kebajikan di sekitar negeri itu.\nProgram Transformasi Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis merupakan cetusan ilham Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis, yang juga merupakan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, serta anakanda sulung baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail. Program transformasi ini kini kian dikenali dalam kalangan pelancong tempatan dan juga antarabangsa. Projek yang dimulakan sejak dua tahun lalu, iaitu sejak bermulanya wabak COVID-19, berjaya megubah wajah lama kampung nelayan ini kepada sebuah kampung yang lebih ceria, bersih dan berkonsepkan warna-warni.\nTurut berangkat ke program kayuhan ini ialah anakanda-anakanda kepada Tuanku Raja Muda Perlis, iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah dan Sharifah Farah Adriana Jamalullail, diiringi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Seri Hasnol Zam Zam, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji.\nTurut berangkat bagi menyempurnakan simbolik perasmian rumah berwarna bendera kebanggaan negeri masing-masing ialah Brigedier Jeneral Dato\u2019 Seri Tengku Baharuddin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Tengku Seri Temenggong Raja Terengganu, merangkap Komander Rejimen 512 AW, dan Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Panglima Raja Pahang,\u00c2\u00a0 selaku Komander Rejimen 505 AW.\nSKAW ini diteruskan lagi dengan penglibatan Rejimen Askar Wataniah di Johor pada tahun hadapan, dan dijangka dilaksanakan semula di Perlis pada tahun 2026." "Pelajar Jurusan Lain Mampu Menulis Sastera dan Sejarah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNilai \u2013 \u201cAnak-anak jurusan kejuruteraan dan sains juga mampu menulis sastera dan kebanyakan mereka lebih berbakat.\u201d Demikian ucapan Novelis Ibrah Sejarah Nombor Satu Malaysia, Hizamnuddin Awang atau nama penanya Web Sutera semasa Sesi Resensi Buku dalam Majlis Perasmian Penutupan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Politeknik Nilai, Negeri Sembilan.\nBeliau turut memberikan pelbagai tips supaya penulisan khalayak dapat diterima dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berdasarkan pengalaman beliau yang pernah menghantar pelbagai karya kepada DBP. \u201cTerdapat penerbit yang boleh menerima bahasa rojak dan ada pula yang hanya menerima bahasa Melayu Tinggi sahaja dalam penulisan,\u201d ujar Hizamnuddin.\nHal ini dikatakan demikian kerana beliau ingin mengajak anak-anak muda waima bukan dalam pengajian sastera turut mampu menjadi seorang penulis sastera yang hebat. Beliau yang berlatarbelakangkan jurusan sains komputer membuktikan bahawa bukan orang sastera sahaja yang mampu menjadi seorang penulis.\nPada awal sesi resensi buku ini, beliau memulakan bicara dengan mengupas novel pertama beliau, iaitu Di Sebalik Hijab yang diterbitkan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung. Novel ini mempunyai dua cerita yang berbeza dengan bertemakan unsur sejarah dan peperangan. Ilham menulis novel ini turut diambil melalui tafsir al-Quran, hadis dan kitab Bible.\n\u201cKerana saya suka cerita sejarah, saya menukilkan dua cerita berbeza yang mengisahkan tentang 7 pemuda gua, iaitu Ashabul Kahfi,\u201d kongsi Hizamnuddin. Novel ini juga telah diulang cetak sebanyak tiga kali dan sebanyak 600 buah buku berjaya dijual secara dalam talian.\nSeterusnya, Hizamnuddin meneruskan sesi resensi buku dengan menghuraikan buku kedua beliau yang bertajuk Raja Kesatria: Hijab Raja Zulqarnain. Novel ini diberikan nafas baharu berbanding karya asal, iaitu Macedonia Alexander Agung Hijab Raja Zulqarnain. \nNovel ini berjaya diterbitkan semula disebabkan oleh permintaan yang tinggi, namun telah ditukarkan tajuk dan penambahan bab hasil perbincangan Hizamnuddin dengan pihak penerbit. \u201cSaya mengambil inisiatif untuk berbincang dengan editor dan penerbit untuk menerbitkan semula buku ini dengan beberapa syarat, iaitu dengan penambahan bab dan penukaran judul,\u201d jelas Hizamnuddin.\nTambah beliau lagi, dalam penulisan novel ini, beliau tidak menggunakan bahasa slanga seperti \u201ctak\u201d, \u201cmu\u201d, dan \u201cpula\u201d. Sebaliknya menggunakan tatabahasa yang tepat termasuklah kata panggilan yang formal. Hasilnya, novel ini telah berjaya dijual sebanyak 10 000 buah sehingga kini.\n\u201cMatlamat saya telah tercapai untuk menghasilkan sebuah novel sastera Melayu yang menggunakan bahasa Melayu Tinggi sepenuhnya,\u201d ujar Hizamnuddin.\nBeliau turut menegaskan, untuk menulis suatu cerita, penulis dilarang dan tidak sepatutnya mencipta seorang hero atau wira yang melangkaui kekuatan, kehebatan dan keagungan Rasulullah SAW.\nMengakhiri sesi resensi buku ini, Hizamnuddin menyeru dan mengajak para pelajar supaya mencontohi beliau, iaitu orang yang berlatarbelakangkan sains tetapi mampu meminati dan mengusai bidang sastera. Pelajar yang berlainan jurusan juga mampu meminati bidang lain dan tidak perlu hanya fokus kepada satu bidang sahaja." "Asrama-Ra: Dorm Putera (Act II) Menerobos Konsep Penerokaan Minda\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Sepanjang 26 Oktober hingga 30 Oktober yang lalu, pementasan teater Asrama-Ra: Dorm Putera (Act II) berlangsung di PJ Live Arts. Teater Asrama-Ra: Dorm Putera (Act II) merupakan naskhah terbaru Khairunazwan Rodzy dan sekuel kepada naskhah Asrama-Ra yang pertama yang telah dipentaskan pada Oktober 2013 di Menara MARA.\nAsrama-Ra: Dorm Putera (Act II) dilihat mengambil jalan yang berbeza dengan memainkan konsep penerokaan minda watak utamanya, Ijan yang dilakonkan oleh Fadhli Masoot sebagai pengawalan plot.\nDengan latar sekolah, isu buli dan watak-watak yang terpampang keremajaannya, naskhah ini jarang menjadi naskhah sanjungan, namun masih diangkat dan dipuji kerana pendekatannya yang tidak menyembunyikan keketaraan kepada penonton seperti transisi babak sebagai babak yang tersendiri, hampir keseluruhan cerita adalah permainan dalam kepala, tona komedi yang tidak sensitif namun memerangkap penonton dan lain-lain lagi.\nKonsistensi yang dibawa oleh para pelakon di atas pentas menggambarkan betapa jelasnya pengaruh kepengarahan Khairunazwan dalam melentur naskhah terbarunya itu. Beliau dikenali sebagai dramatis yang flamboyan naskhahnya seperti naskhah Asrama-Ra: Dorm Putera (Act II) ini, namun bersifat sangat kolaboratif dalam menerima penyampaian dramawannya ketika menggalas kerusi pengarah.\nFadhli Masoot pula memaparkan watak Ijan yang terkurung dengan kolosal emosi tersendiri. Ijan tidak pernah meninggalkan pentas sepanjang cerita berlangsung, maka Fadhli perlu untuk mengekalkan kegalauan yang berat selama hampir dua jam.\nWatak pelajar lain pula dilakonkan oleh Fimie Don sebagai Fakhri, Han Zalini sebagai Juwan, Idham Maulana sebagai Pidot, Anwar Rusdini sebagai Sopi, Ikhlas Jalil sebagai Eddy, Nesa Idrus sebagai Ayu serta Sri Irdina sebagai Cikgu Sabariah. Manakala watak Ustaz Kamal pula dilakonkan oleh dramatis tersohor, Nam Ron.\nKedudukan watak Ijan selaku teraju utama dalam teater ini yang terperangkap dalam cetusan permainan minda dengan keputusannya sebagai orang yang terlibat dalam sebuah tragedi akan berlegar-legar sama ada untuk diam membisu atau bersuara untuk menebus kewarasannya.\nAntara cabaran buat para pelakon teater ini adalah menghidupkan semula jiwa keremajaan mereka dalam persembahan teater setelah lama meninggalkan alam persekolahan.\nSelain itu, menonjolkan isu buli dengan nafas baharu juga bukanlah perkara yang mudah memandangkan keberadaan isu yang sama dalam rata-rata cerita moden bersifat klise. Namun begitu, dengan gaya dan pengawalan cerita yang meneroka kelainan, penggarapan dan perkembangan cerita yang unik, Asrama-Ra: Dorm Putera (Act II) \u00a0tidak mempunyai sebarang konotasi yang sama, bahkan wajar digalas menjadi naskhah sanjungan." "Seminar Mini Kearifan Tempatan Motif Sabah Mempamerkan Keunikan Pelbagai Motif di Sabah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKeningau \u2013 Seminar Mini Kearifan Tempatan Motif Sabah berlangsung pada 3 November 2022, pukul 8.30 pagi hingga 1.30 tengah hari di Dewan Tan Sri Suffian Koroh, Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau. Program ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau.\nSeminar ini yang dihadiri oleh para pensyarah, guru-guru, mahasiswa IPG Kampus Keningau dan sekolah-sekolah di sekitar Keningau memfokuskan kearifan tempatan dalam motif-motif etnik Dusun Liwan, Murut Bookan dan Lundayeh. Fokus kearifan tempatan ini adalah merujuk disiplin ilmu dan kepakaran yang berasal daripada budaya asli tempatan yang berkembang sejak zaman silam, dan telah dipraktikkan sebagai sebahagian daripada cara hidup masyarakat. Kearifan tempatan telah menjadi warisan turun-temurun daripada budaya masyarakat Malaysia yang secara khusus, ataupun daripada Kepulauan Melayu secara amnya.\nDalam seminar ini, sebanyak tiga kertas kerja telah dibentangkan. Encik Mohazar Iksham Mahat selaku moderator mengendalikan sesi pembentangan kertas kerja ini. Dr. Rosliah Kiting memulakan sesi pembentangan menerusi kertas kerja beliau yang berjudul Kearifan Tempatan dalam Motif Sigar Sukuan Sabah. Beliau mengetengahkan kearifan tempatan dalam sigar etnik Dusun Liwan. Menurut beliau, pembuatan tenunan dan sulaman sigar memaparkan pelbagai motif. Motif inilah yang mempunyai kaitan dengan budaya sukuan di Sabah. Tambah beliau lagi, motif yang terdapat dalam sigar etnik Dusun Liwan diambil daripada sumber flora dan fauna.\nSesi diteruskan dengan pembentangan kertas kerja yang kedua yang berjudul Kostum Murut Bookan: Pemakaian dan Motif oleh Puan Phyllis [email\u00a0protected] Ain Shahira Lim Abdullah. Menerusi pembentang ini, beliau menerangkan bahawa pakaian wanita etnik Murut Bookan terbahagi kepada baju sulayau, sarung tapi dan aksesori. Etnik Murut Bookan menenun pakaian mereka sendiri.\nSelain itu, beliau turut berkongsi keunikan masyarakat etnik ini yang mampu mendokumentasikan kearifan mereka dalam bentuk motif-motif pakaian yang mereka tenun. Misalnya, motif bulan penuh pada baju sulayau sebenarnya menggambarkan bahawa masyarakat ini amat akrab dengan bulan dan mereka menjadikan bulan sebagai panduan dalam menghitung musim.\nManakala pembentangan kertas kerja ketiga pula yang bertajuk Arit Etnik Lundayeh disampaikan oleh Encik Frank Dawat Yusia. Beliau menyatakan bahawa etnik Lundayeh mempunyai arit atau motif mereka yang tersendiri.\u00a0 Arit etnik ini berasaskan alam semula jadi, terutamanya tumbuh-tumbuhan yang terdapat dalam persekitaran mereka. Beliau mengetengahkan sepuluh arit Lundayeh. Lebih menarik lagi, beliau mengaitkan Arit Lundayeh ini dengan Legenda Upai Semaring yang merupakan seorang pahlawan Lundayeh yang gagah dan mempunyai tubuh yang besar.\nPenganjuran seminar ini dilihat berjaya mencapai objektif pelaksanaannya. Antaranya adalah untuk memperkenalkan kearifan tempatan yang kontemporari dari segi sastera, budaya dan bahasa sukuan yang terdapat di Sabah serta memelihara dan memulihara sastera, bahasa sukuan, dan budaya Sabah sebagai khazanah warisan bangsa. Di samping itu, diharapkan seminar ini dapat mempopularkan sastera, budaya dan bahasa sukuan yang terdapat di negeri Sabah kepada masyarakat umum.\nMajlis penyampaian cenderamata disempurnakan oleh Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah dan disampaikan kepada Pengarah IPG Kampus Keningau, Encik Doti Asing, para pembentang dan moderator. Selain itu, beliau turut menyampaikan cenderamata kepada pemenang Pertandingan Jejak Kamus yang telah diadakan sebelum penganjuran seminar ini.\nSebanyak enam kumpulan yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi IPG Kampus Keningau menerima hadiah. Encik Doti Asing, Pengarah IPG Kampus Keningau juga menzahirkan ucapan penghargaan kepada DBP Cawangan Sabah dan berharap agar program seumpama ini diteruskan lagi pada masa akan datang." "Bahasa \u201cPengalaman\u201c oleh T. Alias Taib\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPasar Pengalaman merupakan buku kumpulan puisi T. Alias Taib yang ketujuh dan mengandungi 87 buah puisi. Pasar Pengalaman diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada tahun 2004. Walaupun penyair kelahiran Terengganu ini telah lama pergi meninggalkan kita, pengalaman hidupnya yang diungkapkan ke dalam bahasa puisi masih tetap segar dalam sanubari para pembaca karyanya. Pengalaman dirinya yang berkelana ke merata ceruk dunia dirakamkan ke dalam bahasa puisi yang mempunyai identiti tersendiri.\nHal ini awal-awal lagi disebutkan oleh penerbit di bahagian belakang kulit buku ini, iaitu \u201cPenyair menghantarkan kita lapisan pengalamannya yang jujur dan pelbagai; pengalaman dirinya dan pengalaman watak di sekitar dan di seberang dirinya. Saya memperoleh pengalaman melalui kehidupan \u2013 katanya dalam sebuah bengkel penulis muda \u2013 dan memberikan pengalaman melalui puisi\u201d.\nKekuatan bahasa T. Alias Taib ketika mengolah pengalamannya ke dalam bentuk puisi turut diakui oleh pihak penerbit, iaitu \u201cPersoalan puisinya diselongkar hingga ke dasar, kata-katanya dipilih dan ditampi daripada yang terbaik, isi dan bentuk dipertemukan dan dipersandingkan dalam suasana yang mesra dan seimbang\u201d.\nAlias Taib membahagikan kumpulan puisinya kepada tiga bahagian yang mempunyai pengkhususan puisi yang tersendiri. Tiga bahagian tersebut ialah pengalaman watak, pasar pengalaman dan pengalaman seberang. Berkenaan dengan pengalamannya sendiri, T. Alias Taib mengungkapkan pada permulaan bukunya begini, \u201cTidak ada seorang pun dilahirkan bijak atau bodoh. Pengalaman mengasah mereka menjadi bijak atau bodoh\u201d. Beliau mengutip pengalaman sebagai penyair di merata-rata tempat di seluruh dunia hinggalah ke Korea Selatan, Indonesia, Taiwan, London, Paris, Frankfurt, Istanbul, Amman dan Kaherah. Kembara yang jauh itu membawa dirinya sampai ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis, Palestin.\nDi Masjidil Aqsa yang diberkati di sekelilingnya itu, beliau sempat menulis puisi \u201cSaat Kulekatkan Dahiku\u201d yang merupakan rintihannya tentang rasa kekerdilan diri di hadapan Tuhan. Dengan bahasa yang penuh rendah diri, T. Alias Taib mengakui kekerdilan dirinya dalam bait-bait puisi yang diungkapkan seperti yang berikut:\n\u201csaat kulekatkan dahiku perlahan-lahan ke lantai\nmarmar, kekerdilanku dan kebesaran-Mu\nberlumba-lumba terjun ke sumur diriku.\u201d\n\u00a0\nBeliau meneruskan lagi rasa kekerdilan dirinya itu dalam baris yang seterusnya, iaitu:\n\u201caku musafir yang datang menimba air\ndari kolah di rumah-Mu. kupilih rumah ini\nantara jutaan rumah-Mu kerana kehebatan\nkisah yang tersimpan dalam sejarahnya.\u201d\n\u00a0\nBahasa T. Alias Taib yang dipenuhi oleh pengalaman dirinya yang bertahun-tahun mengembara itu diwarnai dengan pelbagai watak yang pernah dikenalinya. Perhatikan sahaja dalam bahagian pertama bukunya ini dengan judul \u201cPengalaman Watak\u201d yang mencatatkan tentang 31 watak yang ditemuinya serta yang sempat ditelusurinya. Antara watak-watak itu termasuklah seperti Fiona, Tiara, Tuty, Iis, Kembang, Poppy, Siti, Tania, Mawar, Ratna, Palupi, Nia, Benji dan banyak lagi. Watak-watak itu juga ada yang turut dikenali ramai dan pernah menjadi bualan masyarakat seperti Ning dan Maznah.\nBahasa pengalaman T. Alias Taib ketika memperkatakan setiap watak dalam puisinya itu mendalam dan beliau turut menyelami perasaan mereka. Apabila membaca puisi-puisi ini, kita sendiri dapat merasai gelodak jiwa setiap watak-wataknya. Teliti hal yang nya dalam puisi \u201cKembang\u201d, iaitu:\n\u201ckembang namaku,\nhari-hari kukandar baldi hidupku\ndi kebun getah, dari pohon ke pohon;\nhari-hari kuseret langkah payahku\ndi kebun hidupku, dari remaja ke dewasa.\ndi kebun ini pengalaman mengajarku;\nhidup bukan pelabuhan\nmelainkan kapal yang sentiasa belayar;\nhidup bukan melontar sauh\ntetapi belayar ke pulau jauh.\u201d\n\u00a0\nSelain \u201cKembang\u201d, beliau juga menyelami perasaan watak yang dinamakannya, Poppy. Yang berikut diperturunkan sedikit baris-baris puisi mengenai Poppy tersebut, iaitu:\n\u201crumah tangga poppy\nlembah kasih tanpa perasaan;\nkosong, lesu dan tak bermaya.\npada lembah tanpa perasaan itu,\nsesekali, poppy dilambung kemelut runcing\nbagai layang-layang menggelepar\nditikam angin tajam.\u201d\n\u00a0\nKepedihan hidup Poppy diakhiri oleh penulis dengan perbandingan ini, iaitu:\n\u201cseperti sandwic, poppy terjepit antara\nrumah tidak berjiwa\ndengan jiwa tidak berumah.\u201d\n\u00a0\nDalam bahagian kedua yang berjudul \u201cPasar Pengalaman\u201d, ikut dimuatkan empat buah puisi yang turut menggunakan kalimah \u201cpasar\u201d, iaitu puisi \u201cPasar Pengalaman\u201d, \u201cPasar Perasaan\u201d, \u201cPasar Oportunis\u201d dan \u201cPasar Bahasa\u201d. Penulis juga menghayati suasana malam dengan begitu mendalam dan mencatatnya ke dalam bahasa yang halus serta mampu mencengkam rasa pembaca dalam \u201cPuisi Tanpa Jendela\u201d. Perhatikan baris-baris puisi ini:\n\u201cdi luar jendela jerit guntur bersahutan\nangin menggigit leher langsir hingga berdarah\n\u00a0\ntiang lampu kelu dipeluk hujan\ngonggong anjing kaku di kejauhan\u201d\n\u00a0\nManakala dalam \u201cTubuhnya Putih Kapur\u201d, dengan hanya melihat sebuah patung pun beliau mampu mencatatkannya dalam bentuk puisi. Manakala dalam \u201cDi Rumah Shakespeare\u201d pula, beliau merakamkan pengalamannya ketika berada di rumah sasterawan agung Inggeris itu. Beliau turut merakamkan lawatannya ke rumah pengarang besar Perancis, iaitu Jean-Paul Sartre dalam puisi \u201cJean-Paul Sartre Pernah Minum\u201d. Dengan rasa penuh rendah diri dan dengan bahasa yang mudah untuk dihayati, dalam rangkap akhir puisinya T. Alias Taib menulis:\n\u201caku bukan pengarang besar\ntapi hanya pendatang kerdil\nyang kebetulan minum sekafe\ndengan eksistensialis perancis itu.\u201d\n\u00a0\nBerbicara tentang bahasanya yang mengungkapkan pelbagai pengalaman hidupnya, T. Alias Taib merumuskan dalam puisi \u201cBahasa, seperti Perasaan\u201d. Diperturunkan sebahagian puisi berkenaan:\n\u201cbahasa, seperti perasaan\ntak pernah punyai sempadan,\nkataku pada joy lin suatu malam\ndi lobi united hotel\ndi festival puisi antarabangsa taipei.\u201d\n\u00a0\nKumpulan puisi ini jelas memaparkan kepada kita bahasa pengalaman T. Alias Taib yang cermat dan begitu berhati-hati. Pengalaman yang dikutipnya selama melalui jalan hidup yang panjang serta laluan kepengarangan yang penuh cabaran memberikan identiti yang tersendiri dalam ungkapan bahasanya. Setiap pengalaman yang ditempuhnya dihayati dengan sebaik-baik mungkin dan hampir setiap orang yang dikenalinya ditumpahkan dengan duka lara hidup mereka ke dalam baris-baris puisi. Menghayati kumpulan puisi ini, dengan sendirinya kita diajak menelaah bahasa pengalaman seorang penyair terkemuka Malaysia yang telah pun dipanggil mengadap Tuhannya, Allahyarham T. Alias Taib." "Malam Gala Kraf Borneo Memartabatkan Produk Kraf Tekstil Sabah dan Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) menganjurkan Majlis Malam Gala sempena Festival Kraf Tekstil Borneo (FKTB) 2022 yang berlangsung dari 28 Oktober hingga 6 November 2022.\nMajlis Malam Gala yang diadakan adalah bertujuan untuk mempromosi dan memartabatkan produk kraf tekstil dari negeri Sabah dan Sarawak yang mengetengahkan keunikan dan kehalusan hasil kerja tangan serta keindahan motif dan reka corak etnik yang mewakili pelbagai suku kaum di kedua-dua negeri tersebut.\nKetua Setiausaha MOTAC, Datuk Hajah Saraya Arbi mewakili Menteri MOTAC, Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Haji Shukri menyampaikan ucapan pada majlis Malam Gala tersebut.\nMenurut Datuk Hajah Saraya, MOTAC melalui Kraftangan Malaysia sentiasa mempergiatkan usahawan dan komuniti kraf untuk menghasilkan dan memasarkan produk kraf sehingga berjaya meningkatkan hasil jualan masing-masing.\nTambah beliau, negeri Sarawak mencatatkan nilai jualan kraf sebanyak RM14.9 juta sementara negeri Sabah pula mencatatkan nilai jualan kraf sebanyak RM15.8 juta setakat 30 September 2022 yang lalu.\n\u201cNilai jualan kraf yang dijana bagi kedua-dua negeri ini menunjukkan pencapaian sebanyak RM30.7 juta, iaitu peningkatan sebanyak 19 peratus untuk tempoh yang sama bagi tahun sebelumnya, iaitu RM25.7 juta,\u201d ujar Datuk Hajah Saraya.\nBeliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kraftangan Malaysia kerana berjaya merangkul enam anugerah bersempena The 6th International Craft Awards (ICA) 2022 di New Delhi, India anjuran Craft Village India pada 22 Oktober 2022 yang lalu. Bahkan, seorang penerima anugerah tersebut merupakan usahawan tekstil songket dari Kampung Gedong, Simunjan, iaitu Puan Ramtiniwaiti Ramlee yang menerima anugerah bagi kategori Craft Person of the Year.\nPenganugerahan tersebut jelas menunjukkan peranan dan sumbangan yang digerakkan oleh pihak MOTAC dan Kraftangan Malaysia dalam melestarikan industri kraf agar semakin mapan dan berdaya saing.\nPeragaan fesyen pada Majlis Malam Gala menampilkan koleksi pereka Kraftangan Malaysia dan pereka fesyen dari negeri Sarawak, iaitu Ben Nazry. Sebanyak 48 koleksi pakaian siap dihasilkan daripada Batik Canting Eksklusif Flying Hornbil, Batik Blok Borneo, Tenunan Borneo serta Batik Linut sentuhan Ben Nazry.\nPeragaan fesyen moden dan kontemporari daripada kraf tekstil tempatan ini menonjolkan keunikan dan keindahan motif serta reka corak etnik yang mewakili suku kaum kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak serta diharap dapat memenuhi permintaan dan cita rasa para pembeli.\nFKTB 2022 yang berlangsung selama 10 hari melibatkan penyertaan seramai 120 orang usahawan kraf dari negeri Sarawak dan Sabah di samping menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti jualan dan pameran produk kraf, pameran kempen \u201cIni Batik Malaysia\u201d, pameran Kampus Satelit Institut Kraf Negara (IKN), pameran MYCRAFTSHOPPE serta demonstrasi dan Interaktif Kraf.\nMelalui penganjuran program sebegini, pihak MOTAC berharap dapat menggalakkan lebih ramai masyarakat Malaysia untuk membudayakan pemakaian produk kraf tekstil tempatan sebagai satu gaya hidup dan menyemarakkan semangat cintakan seni kraf warisan terutamanya dalam kalangan generasi muda negara kita.\nTurut hadir ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato\u2019 Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Pengerusi Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk Rubiah Wang dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, \u2018Ainu Sham Ramli." "Memugar Hubungan Malaysia dan China melalui Media\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTahun 2023 merupakan ulang tahun ke-10 penubuhan perkongsian strategik komprehensif (CSP) China-Malaysia, dan tahun 2024 merupakan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara China dengan Malaysia. Sebagai susulan muafakat strategik \u201cmemperkaya pertukaran budaya dan meningkatkan persahabatan dalam kalangan rakyat\u201c yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua buah negara, Radio and Televisyen Guangxi (GXRTV) di kota Nanning, iaitu ibu kota provinsi Guangxi di selatan negara China, meluaskan saluran pertukaran budaya antara China dengan Malaysia, dan menggunakan bahan audio, gambar dan video untuk berkomunikasi dengan rakyat Malaysia dalam bahasa Melayu.\nBaru-baru ini, GXRTV telah menterjemahkan dan menghasilkan satu siri filem dan program televisyen China yang unggul dan terbaharu untuk disiarkan di Malaysia. Contohnya ialah \u201cPekan Minning\u201c yang bertema pembasmian kemiskinan, \u201cChina Rahsia\u201c yang menggambarkan cara hidup di kawasan luar bandar di China, \u201cGambar-gambar Xinjiang\u201c tentang keindahan Xinjiang dan \u201cPengejar Cahaya: Kisah Pembasmian Kemiskinan\u201c yang merekodkan kisah rakyat China biasa dalam pembasmian kemiskinan.\nUntuk mengisi keperluan dan menarik minat penonton Malaysia, GXRTV telah melantik kumpulan penterjemah dan pengalih suara yang profesional untuk membuat filem dan program TV tersebut. Secara khusus, GXRTV telah melantik Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai perunding bahasa bagi program untuk siaran radio dan televisyen itu. Pensyarah-pensyarah bahasa Melayu Universiti Minzu Guangxi turut dilantik sebagai penyemak kandungan dan aspek bahasa.\nBagi meningkatkan pertukaran dan komunikasi dengan penonton Malaysia, GXRTV telah melancarkan filem dan program TV tersebut di platform video YouTube dan terbuka sepenuhnya untuk tontonan rakyat Malaysia. Sebaik-baik sahaja disiarkan, filem dan program TV tersebut telah mendapat pengiktirafan yang tinggi oleh Tuan Azlim Zakaria, Konsul Jeneral Malaysia di Nanning, kerana terjemahan yang tepat dalam bahasa Melayu, kefasihan dan kejelasan bahasa penyampai, serta kualiti produksi yang sangat baik dan berteknologi tinggi. Filem dan program TV tersebut diiktiraf sepenuhnya oleh pakar dan sarjana yang berkaitan di Malaysia dan di China, serta mendapat sambutan baik penonton Malaysia.\nDi samping itu, GXRTV secara berterusan memperluas pertukaran budaya dan kerjasama dengan pelbagai pihak di Malaysia dalam bidang radio, filem dan program TV. Usaha meningkatkan persefahaman dan juga persahabatan rakyat antara rakyat negara China dengan rakyat Malaysia dilaksanakan melalui penganjuran Minggu Pameran Program TV serta penerbitan dan penyiaran bersama dokumentari dengan kerap. Kejayaan penyiaran filem dan program TV di Malaysia bukan sahaja berkongsi konsep \u201cketerbukaan dan keterangkuman\u201c dalam pendedahan pelbagai cerita kepada penonton Malaysia, bahkan turut membuka kunci model baharu dalam kegiatan pertukaran budaya antara China dengan Malaysia.\nGXRTV ternyata berjaya memanfaatkan media sebagai saluran paling berkesan dalam memupuk persefahaman dan persahabatan antara dua buah negara yang memang telah mempunyai hubungan tamadun sekian lama, sejak zaman dinasti awal China dan kerajaan Melayu lama pada awal abad Masihi. Mudah-mudahan GXRTV akan terus memainkan peranan sebagai jambatan penghubung tamadun negara Malaysia dengan tamadun negara China dalam satu kesinambungan sejarah zaman bahari dan zaman baharu.\nDiharapkan juga GXRTV turut mengusahakan penterjemahan filem dokumentari dan cerita yang masyhur dalam tamadun Melayu ke dalam bahasa Mandarin untuk disiarkan di stesen radio dan tv di Nanning. Penyiaran program dua hala itu akan dapat menjadi \u201ctitian muhibah\u201d antara negara Malaysia dan negara China dengan lebih akrab." "Ahmad Idham Terima Ijazah Kedoktoran Falsafah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSintok \u2013 Penggiat seni tanah air, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang berusia51 tahun merupakan antara 6611 mahasiswa yang berjaya menamatkan pengajian dan diraikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-34 di Dewan Mu\u2019adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM) kelmarin.\nGraduan Doktor Pengurusan ini melakukan kajian yang bertajuk Ekosistem dan Dasar Industri Perfileman Malaysia: Satu Kajian ke Atas Pengantarabangsaan Filem Melayu.\n\u201cSaya suka belajar pelbagai bidang ilmu yang berbeza dan saya amat meminati bidang pendidikan kerana usaha ini lebih kepada khazanah diri demi menjadi seorang yang berilmu. Apabila mendapat tawaran berkhidmat sebagai pengarah sambilan di sebuah universiti, saya banyak memberikan ceramah dan seterusnya saya terpanggil untuk melanjutkan pelajaran,\u201d ujar Dr. Ahmad Idham.\n\u201cPada pandangan saya, apabila kita berminat dan suka untuk berbuat sesuatu, walaupun jadual hidup kita sibuk dengan pelbagai urusan, namun diri kita sendiri yang berkuasa untuk menentukannya. Dengan sokongan keluarga, sahabat dan para pelajar UUM, kini impian saya telah menjadi nyata,\u201d tambah Dr. Ahmad Idham.\nSelain bidang pendidikan dan industri seni, Dr. Ahmad Idham turut aktif dalam pelbagai kerja amal. Antaranya seperti memiliki pusat vokasional dan sekolah pendidikan khas untuk golongan kanak-kanak istimewa yang menghidap penyakit autisme, disleksia dan sindrom down demi pemerkasaan bidang pendidikan khas.\nMenurut Dr. Ahmad Idham, beliau sering berkunjung ke rumah kanak-kanak istimewa dan ada antara mereka yang didiagnos dengan penyakit autism hyper. Golongan kanak-kanak ini disarankan untuk ditempatkan di bahagian psikiatri dan agak mengejutkan kerana mereka bukannya orang kurang siuman.\n\u201cGolongan kanak-kanak istimewa ini mempunyai keistimewaan yang tersendiri yang mungkin tidak ada pada manusia biasa seperti kita. Cuma mereka mempunyai kelemahan tertentu dan berpeluang untuk dipulihkan dengan bantuan pakar terapi dan modul pendidikan khas yang betul,\u201d kongsi Dr. Ahmad Idham.\n\u201cSegala penambahbaikan sedang giat diusahakan demi memastikan anak-anak istimewa ini tidak ketinggalan sama ada dari sudut pendidikan mahupun kemahiran hidup,\u201d kata Dr. Ahmad Idham lagi.\nMinatnya yang mendalam untuk mendekati masyarakat mendorongnya turun padang untuk menyantuni golongan yang memerlukan untuk menyampaikan bantuan.\u00a0\u201cSebenarnya, dalam rezeki kita ada rezeki orang lain. Justeru, semoga sumbangan yang dihulurkan sedikit sebanyak meringankan bebanan golongan yang kurang berkemampuan,\u201d jelas Dr. Ahmad Idham.\nAntara jawatan yang pernah disandang oleh Dr. Ahmad Idham termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Timbalan Pengerusi Persatuan Kebajikan Umar Mishary Insani Johor (UMI) dan Penasihat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) serta mendapat anugerah Ikon Nasional MyBrain15 daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).\nSepanjang penglibatannya dalam dunia hiburan, pelbagai anugerah telah berjaya dirangkul oleh Dr. Ahmad Idham merangkumi Asia Awards 2018 pada Korea Chunsa Film Festival (2018), Penguasa Kanan Bomba 1 (Kehormat), Pengarah Harapan 2002 menerusi filem Mr. Cinderella dan Pengarah Drama Terbaik Anugerah Skrin TV3 (2002) menerusi Tarantula 1 dan Tarantula 2." "Nilai Estetika Lukisan Khat untuk Dekorasi Rumah dan Pejabat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Melihat hasil lukisan khat berlatarkan elemen abstrak, tiada siapa pun menjangka pelukisnya merupakan seorang siswazah Pusat Pengajian Teknologi Industri dalam bidang Teknologi Bio Sumber, Kertas dan Penglitup (coatings), Universiti Sains Malaysia (USM). Yazri Izwan Yahya yang merupakan seorang pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) tidak menjangka rezeki menjadi bidan terjun sebagai pelukis doodle yang melukis latar belakang papan iklan untuk kempen produk gula, menjadi permulaan beliau terlibat secara serius dan aktif dalam menghasilkan lukisan khat dan abstrak. Pengalaman melihat sendiri lukisan yang dihasilkan terpampang pada beberapa papan iklan di seluruh Malaysia menyebabkan Yazri tidak menoleh ke belakang lagi.\n\u201cLukisan doodle basikal dan belon untuk set penggambaran bersama-sama duta produk gula tersebut, iaitu penyanyi Marsha, membuatkan saya bertambah yakin dengan kebolehan dalam bidang seni tampak ini. Sejak itu, saya semakin yakin untuk menerokai lebih banyak teknik dan menjual lukisan khat yang berlatarkan abstrak.\nPada peringkat awal, pelbagai insiden seperti tersalah pilih medium warna, peralatan melukis yang terhad dan pelanggan yang kurang berpuas hati dengan hasil lukisan yang ditempah menyebabkan saya berasa sedikit berputus asa. Namun apabila mendapat maklum balas positif, semangat saya kembali berkobar-kobar untuk melukis dengan lebih serius,\u201d ujar Yazri yang mula melukis secara serius sejak tahun 2021 sewaktu pandemik COVID-19 melanda negara dan seluruh dunia.\nSewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa, Yazri melukis untuk mengisi masa lapangnya selepas waktu bekerja dan setiap karya lukisannya dimuat naik dalam pelantar media sosial.\nPada awalnya, Yazri melukis hanya sekadar mengisi masa senggang sahaja. Namun apabila beliau berkongsi hasil karyanya dalam media sosial, ramai rakan dan kenalannya memberi komen yang memberangsangkan. Kebanyakan mereka bertanya jika Yazri mengambil tempahan lukisan sama ada berdasarkan cita rasa pelanggan atau berdasarkan kebebasan dan keperluan diri beliau.\n\u201cAda lukisan khat saya yang ditempah untuk dijadikan hiasan rumah dan hadiah bagi pelbagai program, acara dan tujuan tertentu. Kebiasaannya, orang Islam yang menitikberatkan setiap hiasan dan dekorasi rumah atau pejabat lebih selesa untuk menggantung pelbagai lukisan berkonsep tulisan khat.\nSeperti yang kita maklum, umat Islam dilarang untuk menggantung gambar lukisan makhluk yang hidup seperti manusia dan haiwan. Justeru, nilai estetika lukisan tulisan khat adalah pilihan terbaik untuk mencantikkan dan menghiasi rumah dan pejabat,\u201d terang Yazri yang telah berjaya menjual sebanyak 79 unit lukisan khat dalam tempoh dua tahun beliau berkecimpung secara serius dalam lukisan khat abstrak.\nPerlu Mahir Lukisan Tulisan Khat \nSelain mahir melukis lukisan abstrak, Yazri menggabungkan kemahiran dan teknik lukisan abstrak menjadi latar kepada tulisan yang ditempah oleh para pelanggan.\nLukisan tulisan khat mempunyai banyak jenis dan kategori. Antaranya termasuklah Nasakh, Thuluth, Diwani, Diwani Jali, Farsi, Nasta\u2019liq, Maghribi, Mushafi, Fatimi dan Riq\u2019ah. Semuanya mempunyai keunikan dan kesenian yang tersendiri.\nSewaktu bersekolah agama di Johor Bahru, Yazri pernah mewakili Sekolah Agama Taman Sri Tebrau dalam Pertandingan Tulisan Khat Peringkat Kecil (darjah 1 hingga 3) sempena Perujian Membaca Al-Quran, Berzanji, Tafsir Ayat dan Tulisan Khat Sekolah-sekolah Agama Negeri Johor.\n\u201cPertandingan khat peringkat kecil itu adalah kategori Khat Nasakh. Pertama kali menyertai pertandingan seperti ini, saya berjaya mendapat tempat ketiga bagi kategori sekolah-sekolah agama di Zon Pelawat Timur. Pada tahun berikutnya, saya menyertai lagi pertandingan khat bagi kategori yang sama (peringkat kecil) dan berjaya menjadi johan yang melayakkan saya mewakili Zon Pelawat Timur ke peringkat Daerah Johor Bahru. Pada pertandingan tersebut, saya berjaya menjadi Johan Daerah Johor Bahru,\u201d jelas Yazri yang berasal dari Johor Bahru.\nPerancangan Masa Hadapan\n\u201cPerancangan masa hadapan saya adalah mahu mempelajari lebih banyak teknik penulisan khat dengan betul kerana masih banyak lagi ilmu yang perlu saya pelajari. Saya gemar meneroka pelbagai teknik dan kaedah lukisan dan tulisan khat agar karya saya sentiasa kekal relevan sepanjang zaman.\nSelain itu, saya juga sedang meneroka peluang untuk menjual hasil lukisan khat yang dicetak atas kanvas bersama dengan bingkai eksklusif kerana pasarannya lebih luas,\u201d jelas Yazri yang menjual karya lukisan khatnya dengan harga bermula RM250 sehingga RM1200 (bergantung pada saiz, jenis ayat dan corak).\nKepada sesiapa yang berminat untuk membuat tempahan khas lukisan khat abstrak, anda boleh melayari pelantar media sosial Yazri, Instagram (@yiy_melukis) dan pelantar TikTok (@yiy12181)." "Kesantunan Bahasa antara Etnik sebagai Wadah Perpaduan Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013\u00a0Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara telah mengadakan program Syarahan Perdana Budaya yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan pada pagi tadi. Program tersebut diadakan di Dewan Sanggar Pujangga, MOTAC. Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dr. Hazami Jahari telah bertindak sebagai moderator bagi sesi syarahan tersebut.\nPenganjuran program tersebut merupakan kesinambungan Siri Syarahan Perdana Budaya yang telah diadakan sejak pada tahun 2011, 2012, 2013, 2015, 2016 dan 2019. Siri syarahan ini diadakan bertujuan untuk mewujudkan satu jaringan perkongsian ilmu dengan pandangan, cadangan dan saranan ke arah pembinaan negara bangsa yang berbudaya luhur, memupuk semangat jati diri selari dengan tahap kemajuan dan pembangunan negara.\n\nAntara tokoh yang pernah menyampaikan syarahan ini ialah DYMM Paduka Seri Sultan Dr. Nazrin Muizuddin Shah, YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad, YBhg. Tan Sri Razali Ismail, YB Tuan Khairy Jamaluddin, YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Seri Utama Dr. Rais Yatim, dan YBhg. Dato\u2019 Dr. Afifi al-Akiti.\nSyarahan yang disampaikan oleh YBhg. Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan pada siri ketujuh ini bertajuk \u201cSatu Tinjauan Sudut Pandang Amalan Budaya Tinggi: Akhlak dan Adab Masyarakat Majmuk di Malaysia\u201c. Dalam syarahan tersebut, beliau menyentuh pelbagai aspek yang berkaitan dengan kesantunan berbahasa melibatkan bahasa etnik-etnik utama di Malaysia.\nDalam permulaan syarahannya, beliau menyatakan bahawa kajian pembentangannya melibatkan unsur kesantunan bahasa etnik utama yang meliputi etnik Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan Dusun, manakala kesantunan Melayu dijadikan asas dalam perbandingan bahasa etnik tersebut. Ujarnya,\nKesan langsung bahasa dalam pembangunan sesuatu tamadun barangkali tidak tampak secara nyata sebagaimana tampaknya pembangunan fizikal, namun dampaknya berkaitan dengan kestabilan sosial, politik, pendidikan dan sahsiah anggota masyarakat dan warganegara.\nSelain itu, beliau juga turut menjelaskan tentang unsur kesantunan berbahasa yang penting dan diwarisi seperti penggunaan kata ganti nama diri, gelar, panggilan hormat dan bentuk bahasa yang rasmi dalam pentadbiran, undang-undang, pendidikan dan majlis serta upacara rasmi. Menurutnya, penggunaan gelar, sapaan dan kata ganti nama diri merupakan perkara yang tidak diendahkan dan dipedulikan pada masa sekarang. Oleh itu, beliau menyarankan agar pengetahuan sosial berkaitan dengan hal tersebut perlu diamalkan secara tepat dan bersesuaian dengan konteks keadaan dalam hubungan berkomunikasi tersebut.\nSeterusnya, beliau juga menjelaskan tentang sistem sapaan dan ungkapan fatis dalam kesantunan berbahasa antara etnik. Ungkapan fatis merujuk bentuk basa-basi, iaitu bentuk bahasa yang sekadar memelihara hubungan sosial. Dalam konteks bahasa Melayu, ungkapan fatis tersebut lebih kepada bentuk ucapan yang mewakili situasi atau keadaan tertentu seperti ucapan selamat dan terima kasih. Katanya,\nAspek kesantunan bahasa yang terdapat dalam kesemua bahasa etnik utama ini adalah untuk memenuhi kenyataan bahawa semua bahasa manusia mementingkan aspek kesantunan dalam perilaku kebahasaan.\nBeliau menutup syarahan tersebut dengan menyatakan bahawa konsep perbandingan kesantunan bahasa ini dijadikan rujukan dan diajar dalam pelbagai program perpaduan di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi. Selain itu, MOTAC juga boleh menjadikan dapatan perbandingan kesantunan bahasa ini sebagai kriteria pelancongan, warisan dan budaya negara bagi melestarikan warisan budaya negara." "Balai Seni Negara Ipoh Bakal Memacu Industri Seni Visual dan Pelancongan di Perak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIpoh \u2013 Bangunan bersejarah di Ipoh, iaitu Ibu Pejabat Pos Lama Ipoh akan dikenali sebagai Balai Seni Negara Ipoh dan bakal berperanan sebagai pusat para penggiat seni dalam merancakkan lagi industri seni visual kontemporari negara, terutamanya di bandar raya Ipoh.\nSelain melahirkan pelbagai keunikan budaya, industri seni visual sebenarnya turut berupaya menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan kebudayaan negara kita. Sehubungan dengan itu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama-sama Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi program seni visual kontemporari di pejabat MBI demi menyemarakkan kegiatan kesenian di Ipoh\nMBI diwakili Dato\u2019 Rumaizi [email\u00a0protected] Daud, Datuk Bandar Ipoh manakala LPSVN pula diwakili oleh Tuan Amerrudin Ahmad, Ketua Pengarah, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara dan disaksikan oleh Datuk Hajah Saraya Arbi, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).\nMenurut Dato\u2019 Rumaizi, pembangunan industri seni visual negara kini semakin mendapat perhatian, terutamanya penglibatan generasi baharu yang dilihat mampu memacu kelestarian ekosistem seni visual secara mampan. Bahkan, industri seni visual ini juga bakal menjadi produk pelancongan baharu yang berpotensi membantu dalam menjana ekonomi setempat mahupun ekonomi negara.\n\u201cSatu Pelan Tindakan dan Penjenamaan Wilayah Pelancongan Greater Ipoh telah diwujudkan dengan tujuan menjadikan wilayah pelancongan Greater Ipoh sebagai destinasi bertaraf antarabangsa yang berdaya saing, inklusif dan mampan melalui pendekatan clustering. Hal ini meliputi empat pihak berkuasa tempatan (PBT), iaitu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Majlis Pembandaran Kuala Kangsar, Majlis Daerah Kampar dan Majlis Daerah Batu Gajah,\u201d ujar Dato\u2019 Rumaizi sewaktu berucap dalam majlis tersebut.\nTambah beliau lagi, MBI turut memperkenalkan dan mempraktikkan konsep 3H, iaitu \u201cHeritage, Hipsters dan Health\u201d untuk membangunkan Balai Seni Visual Negara di Ipoh, Perak.\nDalam majlis yang sama, Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Hajah Saraya Arbi berkata, MOU yang ditandangani pada hari ini telah membentuk satu perancangan yang lebih teratur terhadap pembangunan infrastruktur dalaman dan susun atur ruang pameran.\n\u201cApabila kerja-kerja baik pulih sudah siap kelak, bangunan yang dahulunya dikenali sebagai Ibu Pejabat Pos Lama Ipoh ini akan dikenali sebagai Balai Seni Negara Ipoh yang berperanan sebagai pusat kepada para penggiat industri seni dalam merancakkan program seni visual kontemporari terutama di bandar raya ini,\u201d jelas Datuk Hajah Saraya ketika berucap.\nBeliau turut menyatakan harapannya supaya Balai Seni Negara Ipoh dapat menjadi hab seni popular untuk pelaksanaan program seni visual kontemporari menerusi sokongan dan kerjasama entiti seni tempatan dan luar.\nUntuk makluman, bangunan Balai Seni Negara Ipoh dibina pada tahun 1914 dan siap dua tahun berikutnya dan bersambung dengan Dewan Bandaran Ipoh. Cadangan pembangunan ini diyakini mampu melonjakkan lagi ekonomi pelancongan sebagai pusat seni di utara Semenanjung Malaysia.\nSecara tidak langsung, Balai Seni Negara Ipoh boleh dijadikan tempat untuk mengadakan program-program kesedaran, pendidikan dan jaringan berkaitan seni visual kontemporari melibatkan masyarakat dan mana-mana organisasi untuk membangunkan dan melestarikan seni visual kontemporari di sekitar Ipoh, Perak secara khususnya dan negeri Perak secara amnya. Kerja membaik pulih seluruh bangunan bersejarah ini mengambil masa selama 18 bulan, iaitu bermula 21 November 2022 sehingga Mei 2024.\nMajlis MOU antara pihak MBI dan LPVSN bagi program seni visual kontemporari turut disiarkan secara dalam talian di https://www.facebook.com/nationalartgallerymalaysia." "1000 Bilah Keris Dipamerkan dalam Festival Keris Antarabangsa Melaka 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMelaka \u2013 Lebih 1000 keris yang diperbuat dan berasal dari dalam dan luar negara dipamerkan pada Festival Keris Antarabangsa Melaka 2022 (FKAM 2022) yang berlangsung pada 12 hingga 13 November 2022 bertempat di Perkampungan Hang Tuah, Duyong, Melaka. Sekurang-kurangnya lebih 10 ribu orang pengunjung hadir ke festival ini bagi menyaksikan keunikan pelbagai jenis keris yang dihimpunkan dari serata dunia.\nProgram yang julung-julung kali diadakan dan dianjurkan oleh Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) itu merupakan antara sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri Melaka untuk memartabatkan senjata sebagai satu daripada warisan turun-temurun masyarakat Melayu.\nMenurut Pengurus Besar PERZIM, Drs. Mohd Nasruddin Rahman, FKAM 2022 yang julung-julung kali diadakan pada skala besar itu turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Warisan dan Adat Keris Melaka (PEWARIS).\nTambah beliau, penganjuran FKAM 2022 selama dua hari berjaya menghimpunkan para peserta yang juga merupakan pemilik koleksi keris dari seluruh Malaysia dan beberapa buah negara jiran yang lain. Antaranya termasuklah Thailand, Singapura dan Indonesia yang meliputi Kepulauan Riau, Lingga, Bentan dan Makassar.\n\u201cKeris adalah senjata yang sangat rapat dengan orang-orang Melayu khususnya dalam dunia Melayu Nusantara. Walau bagaimanapun, budaya ini semakin pupus dan dilupakan terutama dalam kalangan generasi muda. Oleh hal yang demikian, PERZIM bersama-sama PEWARIS melaksanakan inisiatif untuk melaksanakan satu program yang besar selama dua hari bagi memperkenalkan dan mempromosi budaya, warisan, sejarah dan tradisi keris sebagai sebahagian daripada gaya hidup masyarakat Melayu di Nusantara ini pada zaman dahulu,\u201d ujar Drs. Mohd Nasruddin.\n\u201cBerdasarkan potensi yang seiring dalam objektif PERZIM untuk memelihara dan memulihara warisan kebudayaan negeri ini, PERZIM berharap agar program seperti ini dapat dilaksanakan pada setiap tahun, dijadikan sebagai sebahagian daripada acara pelancongan tahunan serta dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri Melaka kerana sambutan dan galakan yang diterima daripada para pengunjung amat positif,\u201d kata Drs. Mohd Nasruddin.\nAntara yang menarik perhatian sepanjang program FKAM 2022 berlangsung termasuklah pameran keris tertua dari kerajaan Bentan yang dimiliki sejak abad ke-14 dan berusia lebih 600 tahun, pertandingan 10 kategori jenis keris, demonstrasi mengukir hulu keris, menempa serta membuat keris merangkumi mencuci keris dan tayangan wayang pacak filem Mat Kilau.\nDrs Mohd Nasruddin turut berkata, antara kategori keris yang dipertandingkan dalam FKAM 2022 termasuklah kategori Keris Bugis Sepokal, Keris Bugis Lok, Keris Saras Besi Sebatang, Keris Alang Besi Sebatang, Keris Malela serta pelbagai lagi.\nMajlis Perasmian FKAM 2022 disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah PERZIM, Datuk Akramuddin Ab. Aziz. FKAM 2022 ini turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam dan Pegawai Kewangan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh." "DBP Sedia Membantu Pustaka Negeri Sarawak Mengangkat Dokumen Warisan Tempatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerima kunjungan lawatan daripada Pustaka Negeri Sarawak sebagai usaha agensi tersebut mendapatkan maklumat tentang proses mengangkat dokumen warisan tempatan ke peringkat antarabangsa. Delegasi Pustaka Negeri Sarawak tersebut diketuai oleh Encik Wan Mazli Wan Razali, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Sekretariat Memory of the World (MoW) Sarawak.\nAntara ahli delegasi yang turut hadir termasuklah Encik Vincent Jinap, Ketua Sektor Perkhidmatan Depositori, Encik Izaruddin Moss, Ketua Bahagian Sarawakiana, Encik Ahmad Shamsudin, Ketua Bahagian Perkhidmatan Maklumat, Puan Nur Amanina Mastani, Ketua Bahagian Sarawakiana, Puan Dayang Nur Syima Awang Adrus, Ketua Unit Koleksi Khas, Encik Musa Ayub, Ketua Bahagian ICT, Encik Aldrin John, Pegawai Jabatan Muzium Sarawak, Puan Rebecca Richard, Pegawai Jabatan Muzium Sarawak, dan Dr. Ipoi Datan, Pegawai Majlis Adat Istiadat Sarawak.\nLawatan tersebut diadakan bertujuan untuk mendapatkan perkongsian daripada DBP yang pernah mencalonkan koleksi manuskrip Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) yang mendapat pengiktirafan sebagai karya agung warisan dunia dalam Memory of The World International Register oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2001, dan manuskrip Kitab Ilmu Bedil yang diiktiraf sebagai Memory of The World UNESCO Asia and The Pacific pada tahun 2016.\nPertemuan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Lembaga Pengelola, Arasa 30, Menara DBP itu diketuai oleh Tuan Haji Md Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, yang mewakili Ketua Pengarah DBP. Dalam ucapan alu-aluannya, Tuan Haji Md Johari Hasan merakamkan penghargaan atas kesudian pihak Sekretariat MoW mengunjungi DBP, dan DBP bersedia untuk membantu dan memberikan maklumat yang diperlukan oleh Sekretariat MoW.\nMenurut Encik Wan Mazli, Sekretariat MoW yang ditubuhkan pada tahun 2019 dipertanggungjawabkan untuk mengenal pasti dokumen warisan tempatan yang terdapat dalam Sarawak untuk dicalonkan ke MoW peringkat kebangsaan. Hingga kini, Sekretariat MoW memiliki 17 manuskrip tulisan Jawi sekitar tahun 1800-an yang diperoleh secara belian dan derma daripada individu. Walaupun begitu, sebahagian daripada manuskrip tersebut masih belum mempunyai penyelidikan sokongan.\nDalam pertemuan tersebut, Encik Nik Aman Nik Yusoff, Ketua Pusat Dokumentasi Melayu DBP, turut memberikan penerangan ringkas tentang proses yang perlu dilalui untuk mendapatkan pengiktirafan daripada UNESCO. Menurut Encik Nik Aman, terdapat pelbagai faktor yang dilihat oleh pihak UNESCO untuk mengiktiraf sesuatu dokumen, antaranya termasuklah asal dan ketulenannya. Oleh sebab itu, setiap dokumen warisan yang dicalonkan perlu melalui penyelidikan secara mendalam sebagai sokongan dan bukti keaslian.\nPertemuan tersebut diteruskan dengan lawatan pihak Sekretariat MoW ke Pusat Dokumentasi Melayu untuk melihat dengan lebih dekat koleksi manuskrip yang terdapat di DBP, di samping mendapatkan maklumat tentang pengurusan manuskrip, seperti cara penyimpanan dan pemuliharaan manuskrip." "Institusi Arkib Perbendaharaan Khazanah Warisan Dokumentasi Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Kini Sarawak telah memiliki bangunan arkibnya sendiri setelah bangunan Arkib Negara Malaysia di Sarawak siap sepenuhnya pada 1 April yang lalu. Majlis perasmian Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak ini yang merupakan arkib negara kelima telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato\u2019 Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.\nMenurut Dato\u2019 Sri Abdul Karim, arkib merupakan institusi yang perlu dipertahankan kerana menjadi tempat penyimpanan pelbagai khazanah warisan dokumentasi negara kita. Keruntuhannya akan menyebabkan kita kehilangan segala bahan yang merupakan bukti ketamadunan bangsa.\n\u201cBahan arkib yang sahih amat penting kerana merupakan sumber utama yang diterima di mahkamah antarabangsa dalam pembuktian kes yang mempertahankan kedaulatan dan wilayah persempadanan negara meliputi laut, darat dan udara. Contohnya, kes tuntutan Pulau Ligitan dan Sipadan pada tahun 2022 yang berpihak kepada negara kita menerusi penemuan rekod di institusi arkib yang menunjukkan aktiviti dan kawalan Malaysia terhadap pulau-pulau tersebut,\u201d kata Dato\u2019 Sri Abdul Karim yang menyampaikan teks ucapan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.\nSehubungan dengan itu, beliau menyeru semua penjawat awam negeri dan persekutuan supaya komited menjaga dan memelihara rekod yang diwujudkan serta hendaklah menyerahkan rekod awam yang bernilai kekal kepada Pustaka Negeri Sarawak bagi rekod kerajaan negeri dan kepada Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak bagi rekod kerajaan persekutuan.\nBeliau turut menyatakan bahawa zaman ledakan data dan maklumat yang menuntut kreativiti dan perkembangan pesat dunia teknologi pada masa kini turut memberi kesan langsung kepada institusi arkib.\n\u201cPendigitalan bahan arkib dengan tujuan pemeliharaan dan penyelidikan akan membuka ruang kepada institusi arkib untuk menarik lebih ramai penyelidik dan pengguna bahan arkib dari dalam dan luar negara,\u201d jelas Dato\u2019 Sri Abdul Karim.\nTambah beliau lagi, dalam usaha menggembleng pelan tindakan (blueprint) digital, kerajaan negeri Sarawak memberi tumpuan kepada peningkatan ekosistem bersepadu untuk memupuk masyarakat digital yang inklusif, mengembangkan ekonomi digital serta menggalakkan pertumbuhan perniagaan dan sektor teknologi pintar.\nJusteru, sewajarnya inisitif ini perlu disambut baik oleh penyedia perkhidmatan rujukan data dan maklumat termasuklah institusi arkib sebagai tempat simpanan maklumat rasmi di Sarawak.\nTurut hadir memeriahkan majlis perasmian tersebut ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri; Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Dato Jaafar Sidek Abdul Rahman dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr. Hazland Hipni.\nMajlis perasmian ini turut disiarkan secara dalam talian dan rakamannya boleh ditonton di https://www.facebook.com/myarkibnegara/videos/3269675843284973." "Warisan Seni Budaya Perlis Perlu Dikekalkan \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013\u00a0 Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis berharap agar seni budaya yang terdapat di Perlis terus dikekalkan, terutamanya seni budaya yang kian dilupakan atau pupus akibat ditelan zaman. Titah baginda ketika menutup Mesyuarat Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis Sidang Kedua bagi Tahun 2022:\nWarisan seni dan budaya ini perlu diselarikan dengan perkembangan semasa dan syariat Islam, sesuai dengan peranan yang dimainkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebagai badan utama yang menerajui agama Islam di negeri ini dan juga pendokong kepada adat istiadat Melayu di Perlis.\nTuanku Raja Muda Perlis juga mahu lebih banyak usaha pengekalan, perkembangan, pendidikan, kajian dan penambahbaikan dilakukan terhadap artifak peninggalan, warisan, tarian, adat, budaya dan sebagainya yang berkaitan dengan negeri Perlis agar dapat diperkayakan lagi khazanah kesenian negeri itu untuk diwarisi oleh generasi masa hadapan." "Bahasa Melayu Pengungkap Peradaban Bangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTERENGGANU \u2212 \u201cBahasa Melayu Pengungkap Peradaban Bangsa.\u201c Demikianlah pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa jiwa bangsa. Ucaptama yang menarik tentang bahasa Melayu ini telah disampaikan oleh YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, yang juga selaku Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, dalam Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa Institut Pendidikan Guru Kampus Dato\u2019 Razali Ismail 2021 (Serai 2021) menerusi aplikasi Zoom yang bersiaran secara langsung pada pukul 10.50 pagi tadi.\n\u201cBahasa kebangsaan merupakan roh bagi negara kita. Namun begitu, sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu masih belum digunakan dengan sewajarnya untuk memenuhi makna bagi lambang kedaulatan negara, jati diri dan perpaduan. Hal ini demikian kerana masih ada segelintir dalam kalangan masyarakat yang belum menguasai bahasa Melayu dengan baik. Sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu masih belum digunakan dengan sewajarnya dalam ranah pentadbiran negara, undang-undang, pendidikan, ekonomi, media am dan di tempat awam.\u201d\nMenurut beliau, bahasa juga bertindak sebagai pengungkap peradaban bangsa dan negara sebagai bahasa ilmu. Bahasa bertindak sebagai alat untuk manusia memperoleh ilmu dan menyampaikan ilmu. Tanpa penguasaan bahasa, seseorang itu tidak dapat menguasai ilmu yang didengarinya dan seterusnya tidak dapat menyampaikan ilmu tersebut kepada orang lain.\nPenggunaan bahasa yang sopan juga penting supaya ilmu dapat disampaikan dengan berkesan. Oleh itu, pentingnya untuk mengekalkan bahasa yang sopan dan santun supaya penuturnya dapat berfikir secara baik dan seterusnya akan melakukan tindak tanduk yang baik.\nDi samping itu, bahasa baku turut penting sebagai tonggak peradaban bangsa dan negara. Antara wasiat Hassan al-Bana termasuklah keperluan mempertahankan bahasa baku kerana ilmu perlu diolah dalam bahasa baku dengan baik.\nUjarnya lagi, bahasa Melayu turut menjadi asas pembentukan konsep diri manusia yang dapat dikaitkan dengan akal. Sehubungan dengan itu, bahasa cerminan akal fikiran penuturnya. Bahasa yang menentukan tingkah laku penuturnya dan juga pengungkap kepada individu. Oleh itu, fungsi bahasa itu membentuk peribadi penuturnya.\nDalam seminar itu juga, YBhg. Dr. Rusmini Ku Ahmad, Rektor, Institut Pendidikan Guru Malaysia turut hadir sebagai perasmi Serai 2021. Sebanyak 138 orang pembentang dari dalam negara dan luar negara terlibat dalam seminar ini. Antaranya termasuklah 100 orang peserta seminar yang terdiri daripada pensyarah institusi pendidikan tinggi awam, institusi pendidikan tinggi swasta, institut pendidikan guru, politeknik, matrikulasi, guru dan pelajar dari dalam negara dan luar negara.\nSementara itu, terdapat lebih daripada 200 projek inovasi yang melibatkan pelbagai kategori dalam pertandingan inovasi yang dipertandingkan." "Falsafah di Sebalik Seni Reka Bentuk Kintsugi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada usia 20-an dan 30-an, mungkin terdapat tekanan yang besar untuk memenuhi jangkaan masyarakat, keluarga, rakan-rakan, orang-orang di sekeliling serta untuk diri kita sendiri. Ramai orang menoleh ke belakang dan berasa kecewa kerana mereka tidak mengambil peluang untuk mengembara dengan lebih banyak lagi.\nOrang lain mungkin membayangkan bahawa mereka akan berada lebih jauh dalam kerjaya atau hubungan peribadi mereka. Pada hakikatnya, hidup ini sukar dan kita mungkin menghadapi kemunduran sama ada besar atau kecil yang boleh menghancurkan impian kita serta meninggalkan kita dengan serpihan harapan yang kita anggap tidak bernilai.\nPerasaan dan pengalaman menempuhi kegagalan boleh menjejaskan tahap mental secara berpanjangan namun tidak boleh menjadi penghalang untuk anda menelusuri jejak jalan kehidupan anda. Terdapat banyak ajaran, amalan dan falsafah yang boleh membantu anda menangani kekecewaan, menerima ketidaksempurnaan dan kekal optimistik.\nAntara satu daripada amalan dan falsafah sedemikian adalah seni reka bentuk Jepun kintsugi yang bermaksud bergabung dengan emas. Kintsugi telah menarik banyak perhatian dalam beberapa tahun kebelakangan ini sebagai teknik seni, pandangan dunia, metafora serta kaedah untuk manusia menjalani alam kehidupan.\nSelain itu, banyak seni reka bentuk Jepun telah dipengaruhi oleh falsafah Zen dan Mahayana yang memperjuangkan konsep penerimaan dan perenungan ketidaksempurnaan, perubahan yang berterusan dan ketidakkekalan semua perkara.\nKintsugi juga merupakan seni reka bentuk Jepun untuk membaiki tembikar yang pecah. Jika sesuatu mangkuk itu pecah, maka serpihan yang pecah itu akan dilekatkan semula dengan menggunakan getah pokok seperti gam dan retakan dihiasi dengan emas. Tiada percubaan untuk menyembunyikan kerosakan, sebaliknya akan diserlahkan demi menonjolkan nilai kesenian.\nAmalan ini menonjolkan idea bahawa kecantikan boleh didapati dalam sesuatu ketidaksempurnaan. Manakala kerosakan pula adalah satu peluang untuk menerapkan bentuk pemikiran dan menjadi contoh kegagalan untuk membantu menambah baik taraf kehidupan.\nTeknik Membaiki Pasu Pecah\nKintsugi agak meluas tersebar di Jepun pada sekitar akhir abad ke-16 dan awal abad ke-17. Asal usul estetika ini bermula sejak ratusan tahun lalu sehingga ke zaman Muromachi (sekitar tahun 1336 hingga tahun 1573). Syogun (pemerintah) ketiga pada era itu, iaitu Ashikaga Yoshimitsu (memerintah dari tahun 1358 hingga tahun 1408) dikatakan telah memecahkan mangkuk teh kegemarannya. Mangkuk teh tersebut sangat unik dan tidak boleh diganti.\nRentetan itu, Ashikaga Yoshimitsu tidak membuang mangkuk teh tersebut, sebaliknya beliau menghantarnya ke China untuk diganti baharu atau dibaik pulih. Mangkuk teh tersebut dibaiki dengan kepingannya dipegang pada tempatnya dengan pengikat (staple) logam.\nPembaikan atau pengikat asas merupakan teknik membaik pulih barangan berharga yang pecah di China dan juga di sebahagian besar negara Eropah pada zaman itu. Walau bagaimanapun, Syogun menganggapnya tidak berfungsi dengan baik dan tidak cantik.\nSebaliknya, demi menyelesaikan masalah barangan kraf tangan kaca yang mudah pecah, Syogun mengupah tenaga pekerja yang pakar dan mahir dalam membaik pulih barangan berharga yang pecah serta menghasilkan sesuatu yang indah dan penuh dengan nilai estetika daripada barangan kaca yang pecah dan rosak di samping menyembunyikan kerosakannya.\nMencari Keindahan dalam Ketidaksempurnaan\nKintsugi membuat atau menjadikan sesuatu yang baharu daripada periuk atau bekas mangkuk yang pecah dengan diubah suai untuk menonjolkan nilai kecantikan dan keindahan yang berbeza. Ketidaksempurnaan dan retakan keemasan adalah dua nilai estetika yang menjadikan objek baharu yang dihasilkan itu unik.\nSeni kintsugi berkait rapat dengan falsafah wabi-sabi Jepun, iaitu \u201cpandangan dunia yang berpusat pada penerimaan kefanaan, ketidaksempurnaan dan keindahan yang terdapat dalam kesederhanaan\u201d. Wabi-sabi juga merupakan penghargaan terhadap kedua-dua objek semula jadi dan kuasa alam semula jadi yang mengingatkan manusia bahawa tiada apa-apa yang kekal buat selama-lamanya di dunia ini.\nFalsafah wabi-sabi juga merupakan sebahagian daripada seni estetika merenung dan melihat sesuatu perkara yang menjadi semakin cantik seiring dengan berlalunya masa. Sebagai sebahagian daripada reka bentuk kraf tangan dan kesenian, kintsugi telah berkembang melebihi jangkaan sebagai sebuah falsafah dan gaya hidup. Hal ini kerana teknik kintsugi bukan sekadar membaik pulih objek sahaja, bahkan telah berubah penampilan idealogi, pemikiran dan identiti asalnya.\nPada zaman pengeluaran besar-besaran dan pematuhan, falsafah kintsugi mendidik manusia supaya belajar menerima, mengiktiraf dan meraikan perkara yang tidak sempurna. Di samping itu, falsafah kintsugi juga turut menonjolkan dan menyerlahkan sesuatu kekurangan dan ketidaksempurnaan menjadi sesuatu yang hebat, unik dan istimewa. Contohnya, serpihan hati yang hancur akibat rasa kecewa kerana putus cinta boleh diubah menjadi sesuatu yang baharu, positif dan unik menerusi penghayatan falsafah kintsugi.\nPerkara baharu itu mungkin tidak sempurna atau tidak seperti yang anda bayangkan, namun tetap indah dan menarik. Berbanding cuba menyembunyikan kelemahan, teknik kintsugi menyerlahkan dan menarik perhatian manusia. Falsafah kintsugi sebagai pendekatan kepada kehidupan boleh membantu memberi semangat dan motivasi kepada manusia apabila menghadapi kegagalan.\nKita juga boleh cuba mempraktikkan pendekatan kintsugi dalam seni mereka bentuk, mencipta dan menghasilkan kraf tangan. Jika hasilnya berjaya dan memberangsangkan, kita boleh mengamalkannya sebagai sebahagian daripada cara dan gaya hidup. Walaupun hasilnya mungkin tidak kelihatan cantik secara langsung, namun berdasarkan ajaran falsafah wabi-sabi, seiring dengan berlalunya masa, kita mungkin dapat menghargai keindahan sebuah ketidaksempurnaan itu.\nBarangan kaca yang dihasilkan seperti mangkuk mungkin kelihatan mudah pecah dan bertaburan kepingan-kepingannya, tetapi hal ini juga adalah satu peluang untuk mencantumkannya kembali bersama dengan jahitan emas. Justeru akan menghasilkan mangkuk dengan hasil estetika kesenian yang baharu, unik, kuat dan menarik." "Teluk Intan Permata Bersinar di Negeri Perak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nApabila disebut tentang Teluk Intan, ramai dalam kalangan kita membayangkan Menara Condong Teluk Intan yang berdiri megah di tengah-tengah pekan Teluk Intan umpama Menara Condong Pisa di Itali. Inilah sebuah permata yang bernilai dan mempunyai sejarahnya yang tersendiri sejak sekian lama. Teluk Intan telah mengalami perubahan dari segi pembangunan prasarana pelancongan bagi menarik minat pelancong luar untuk berkunjung ke Teluk Intan.\nMenurut portal Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), kedudukan Teluk Intan\u00a0berada di sebelah pantai Barat Semenanjung Malaysia dan berperanan sebagai pusat pentadbiran di Hilir Perak. Teluk Intan menduduki tangga ke-17 kedudukan bandar utama di Malaysia dan menduduki tangga ketiga bandar utama di Perak.\nMenyoroti kembali asal-usul nama Teluk Intan, terdapat pelbagai versi berbeza dan yang sering didengar daripada mulut penduduk tempatan. Antaranya termasuklah nama Teluk Intan diambil bersempena nama seorang janda yang bernama Mak Intan dan memiliki rupa paras yang cantik. Beliau yang berasal dari Mandahiling, Sumatera merupakan peneroka terawal yang membuka Teluk Intan pada sekitar abad ke-19.\nKawasan yang diteroka oleh beliau adalah pekan Teluk Intan dan sejak itu, semakin ramai para pedagang dan petani dari Jawa, Rawa, Mandahiling, Minangkabau, Kampar dan India-Bombay datang menetap di tempat ini. Pada 1 Januari 1982, nama Teluk Anson ditukar kepada Teluk Intan dan kekal sehingga hari ini. Sektor pertanian yang terdapat di Teluk Intan adalah penanaman kelapa sawit dan hal ini terbukti dengan banyak pohon kelapa sawit yang ditanam di sekitar perkampungan seperti di Kampung Selabak dan Batak Rabit.\nPada penghujung tahun 2021, penulis dan isteri berpeluang untuk bercuti singkat di Teluk Intan, Perak. Kami bertolak dari Kuala Lumpur ke Teluk Intan dan perjalanan memakan masa sekitar 2 jam 30 minit dengan jarak sejauh 160 kilometer. Kami memilih perjalanan dengan menaiki kereta persendirian melalui jalan raya yang melewati kawasan Segambut, Kuang, Rawang, Bukit Beruntung, Slim River dan Sungkai. Sebaik sahaja tiba di Pekan Teluk Intan pada waktu tengah hari, kami melihat kesibukan dan hiruk-pikuk pekan Teluk Intan yang dipenuhi dengan deretan kedai dan restoran.\nSeterusnya, kami singgah sebentar di Pusat Rekreasi Waterfront Teluk Intan untuk berehat setelah menempuh perjalanan yang agak jauh. Di sini kami dapat menikmati panorama Sungai Perak yang indah sambil bertemankan tiupan angin yang menenangkan. Lokasi ini juga turut dilengkapi dengan prasarana seperti taman permainan\u00a0kanak-kanak, tandas awam, tempat makan dan tempat parkir kereta yang banyak.\nKedudukan Pusat Rekreasi Waterfront Teluk Intan yang berhadapan dengan Sungai Perak membuatkan kebanyakan pengunjung tidak melepaskan peluang untuk mengambil foto di sekitar lokasi ini terutamanya di kala senja menjengah sambil menyaksikan keindahan matahari terbenam. Di samping itu, tidak jauh daripada lokasi ini, terdapat perkhidmatan pelayaran sungai yang disediakan untuk pengunjung yang ingin merasai pengalaman pelayaran menelusuri Sungai Perak sambil melihat tinggalan sejarah kolonial di sekitar Teluk Intan.\nPada kesempatan ini, kami menaiki feri pelayaran menyusuri Sungai Perak. Menerusi tema \u201cJelajah Persisiran Sungai Perak\u201d, kami dapat mengimbau era kolonial dengan menyaksikan beberapa tinggalan bangunan lama yang masih teguh sehingga kini. Antaranya termasuklah balai polis lama, pejabat pos, bangunan HSBC dan Mahkamah Lama Teluk Intan. Selain itu, kami juga melalui sebuah tokong Buddha, iaitu Eastern Sea Dragon Temple dan sekitar Kampung Esso yang dahulu dijadikan sebagai depoh penyimpanan minyak Syarikat Petroleum Esso sebelum minyak tersebut dihantar ke seluruh Malaysia melalui jalan kereta api.\nPelayaran feri kami diteruskan lagi melalui kawasan Batak Rabit dan akhirnya kami tiba di lokasi Pulau Bangau yang terdapat sebuah enjin kapal wap lama yang dipercayai berusia sekitar 100 tahun dan tenggelam dalam dasar sungai. Enjin tersebut hanya dapat dilihat apabila berlakunya fenomena air sungai surut dan kemunculan enjin ini menggemparkan penduduk tempatan serta ada yang mendakwa bahawa enjin tersebut sebenarnya adalah kepala sebuah lokomotif.\nSelepas puas menikmati pemandangan indah nan permai di sepanjang Sungai Perak, kami tiba di jeti dan meneruskan aktiviti bersiar-siar pada waktu lewat petang melalui pekan Teluk Intan. Kami melihat monumen bersejarah, iaitu sebongkah batu bersaiz sebuah kereta kancil yang terletak di persimpangan jalan. Monumen tersebut dibina demi memperingati tentera yang terkorban pada Perang Dunia Pertama. Kami mengabadikan kenangan indah ini dengan mengambil gambar berlatarbelakangkan batu tenggek tersebut yang ternyata mempunyai nilai sejarah yang tersendiri.\nPada hari kedua, selepas sarapan kami meneruskan perjalanan menuju ke Menara Condong Teluk Intan yang begitu terkenal dengan jolokan Menara Condong Pisa dan jarak dari hotel kami menginap ke menara tersebut hanyalah 500 meter. Menara ini terletak di tengah-tengah dataran Pekan Teluk Intan yang menghubungkan Jalan Pasar, Jalan Selat, Jalan Bandar dan Jalan Ah Cheong. Menara ini mempunyai nilai sejarah yang tersendiri dan masih terpelihara sehingga ke hari ini hasil usaha pemulihan oleh pihak berkuasa tempatan.\nKami\u00a0berpeluang melihat keadaan sebenar di dalam menara tersebut yang mempunyai tiga tingkat. Menurut sejarah, menara ini dibina pada tahun 1885 oleh seorang kontraktor Cina yang bernama Leong Choon Chong dan berperanan sebagai tangki simpanan air ketika musim kemarau serta membekalkan air kepada penduduk tempatan. Dengan ketinggian 25 meter serta mempunyai 110 anak tangga, lapisan bawah menara ini mempunyai ukuran garis pusat 13 meter dan semakin menguncup ke atas dengan ukuran 8.2 meter.\nPembangunan menara ini adalah hasil sumbangan penduduk tempatan dan diperbuat daripada kayu dan batu bata dengan seni binanya yang berkonsepkan pagoda. Selain itu, menara ini turut berfungsi sebagai penanda waktu dan juga penunjuk arah laluan kapal ke pelabuhan Teluk Anson suatu ketika dahulu. Jam besar menara ini dipasang dan dibangunkan oleh firma James William Benson dari Ludgate Hill London. Kecondongan menara ini disebabkan banjir besar yang berlaku mengakibatkan perubahan struktur tanah dan bebanan tangki air yang berat menyebabkan Menara sedikit condong ke arah barat. Waktu melawat menara ini adalah pada setiap hari bermula\u00a0pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (Isnin hingga Jumaat) dan pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang (Sabtu dan Ahad). Masuk adalah percuma.\nTeluk Intan juga tidak kurang hebatnya sebagai lokasi makanan yang menarik. Kami sempat singgah makan mi rebus dan rojak di Restoran Mastan Ghani yang terletak di Jalan Selat yang berdekatan dengan Menara Condong Teluk Intan. Mi rebus dan rojak merupakan sajian istimewa yang telah menambat hati ramai pengunjung merangkumi penduduk tempatan dan pelancong asing.\nRestoran Mastan Ghani dahulunya hanyalah sebuah kedai kecil dan mula beroperasi pada tahun 1961 sebagai sebuah perniagaan keluarga. Setelah beroperasi beberapa tahun dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk tempatan, beberapa cawangan telah dibuka di sekitar Teluk Intan. Ternyata rahsia keenakan mi rebusnya terletak pada kuah yang dihasilkan dengan mengadunkan bahan-bahan asas seperti cili, serbuk cili, rempah-ratus dan resipi rahsia mereka yang tersendiri. Restoran ini juga turut menyediakan minuman sejuk dan panas buat pengunjung serta dibuka setiap hari bermula pukul 10.00 pagi hingga 9.00 malam.\nSetelah menikmati hidangan makan tengah hari, perjalanan diteruskan lagi menuju ke lokasi seterusnya, iaitu Jeti Beting Beras Basah yang terletak di Bagan Datoh, Perak. Perjalanan ke sana memakan masa satu jam dari pekan Teluk Intan dengan menaiki kenderaan dan kami berasa teruja kerana lokasi ini menjadi saksi pertabalan Sultan Perak yang pertama, iaitu Sultan Mudzaffar Shah.\nMenurut sejarah, pada tahun 1528, bahtera yang dinaiki baginda tersadai di Beting Beras Basah setelah menyusuri Sungai Perak dan baginda melaungkan seruan agar bahtera yang dinaikinya bergerak. Setelah berakhir seruan keramat tersebut, bahtera yang dinaiki baginda bergerak dengan sendiri dan ketibaannya disambut dengan laungan \u201cDaulat Tuanku\u201d sebanyak 3 kali oleh para pembesar negeri dan rakyat jelata yang menyaksikan kejadian tersebut. Seterusnya baginda dibawa ke sebuah lokasi, iaitu Tanah Abang lalu ditabalkan sebagai Sultan Perak yang pertama.\nSeterusnya kami kembali ke pekan Teluk Intan dan berehat di tempat penginapan kami. Usai solat maghrib, kami bergerak menuju ke restoran Apong D\u2019Hilir yang terletak 200 meter daripada\u00a0penginapan kami. Restoran ini unik kerana berkonsepkan restoran terapung di atas air sungai selain turut dimeriahkan dengan persembahan penghibur jalanan daripada kalangan penduduk tempatan.\nApabila malam menjelma, suasana di pekan Teluk Intan \u201chidup dan meriah\u201d dengan gelagat warga tempatan yang meluangkan masa bersama-sama keluarga melaksanakan pelbagai aktiviti di sekitar Menara Condong Teluk Intan. Bagi para peniaga trak makanan dan jualan but kereta, inilah peluang buat mereka untuk menjana pendapatan dan kenderaan mereka sentiasa memenuhi jalan-jalan sekitar Menara Condong Teluk Intan.\nTidak jauh dari Menara Condong Teluk Intan, terdapat bazar yang sering dikunjungi penduduk tempatan yang ingin membeli pelbagai barangan. Jika di Kuala Lumpur terkenal dengan Petaling Street, maka di sini pula terkenal dengan Gerbang Malam yang menjual pelbagai barangan seperti pakaian, aksesori, barangan runcit, kasut, makanan dan sebagainya dengan harga yang berpatutan. Bagi penduduk tempatan, mereka lebih suka berkunjung ke Gerbang Malam pada lewat malam kerana pada waktu tersebut, mereka boleh membeli barangan dengan harga yang lebih murah. Jika anda berkunjung ke pekan Teluk Intan, jangan lepaskan peluang keemasan menempuh pengalaman membeli-belah yang berbeza daripada tempat-tempat yang lain.\nTernyata perjalanan singkat di Teluk Intan membawa seribu kenangan manis buat penulis. Teluk Intan sememangnya permata yang bernilai dan tidak kalah dengan\u00a0tempat-tempat pelancongan lain di sekitar Perak dan turut mempunyai pilihan makanan yang menarik. Buat seluruh warga Malaysia, ayuh bercuti di Teluk Intan dan luangkan masa berharga anda bersama-sama keluarga tercinta." "DBP Mengukuhkan Kerjasama dengan Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u00a0Kunjungan hormat Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia (PERANAKAN) ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah berlangsung pada 23 November 2022 (Rabu) pada pukul 11.00 pagi hingga 1.00 tengah hari di Bilik Mesyuarat Lembaga Pengelola, Aras 30, Menara DBP, Kuala Lumpur.\nDelegasi PERANAKAN seramai lapan orang diketuai oleh Datuk Ronald Gan Yang Hoe selaku Presiden PERANAKAN. Manakala DBP pula diwakili oleh Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran selaku Ketua Pengarah DBP yang turut mempengerusikan sesi perbincangan kerjasama dalam kunjungan hormat ini.\nMenurut Presiden PERANAKAN, Datuk Ronald Gan Yang Hoe dalam ucapannya, tujuan utama PERANAKAN melakukan kunjungan hormat kepada DBP adalah untuk mewujudkan dan mengukuhkan hubungan kerjasama antara institusi utama yang berperanan menjaga dan memartabatkan bahasa kebangsaan, iaitu DBP dengan masyarakat Baba dan Nyonya.\n\u201cDi samping itu, PERANAKAN juga berhasrat untuk mengadakan kerjasama dengan DBP berkaitan kegiatan bahasa dan sastera bagi menonjolkan perpaduan antara kaum serta keunikan budaya, sejarah, warisan dan tradisi masyarakat peranakan Baba dan Nyonya,\u201d ujar Datuk Ronald Gan Yang Hoe.\nTambah beliau lagi, PERANAKAN juga berharap agar DBP dapat membantu masyarakat Cina peranakan menghidupkan dan menyemarakkan lagi bahasa Baba dan Nyonya yang hampir sama dengan bahasa kebangsaan di seluruh negara dan pada peringkat antarabangsa.\nDatuk Ronald Gan Yang Hoe turut berkata, kini PERANAKAN dalam perancangan untuk menganjurkan pelbagai program, pertandingan dan persembahan untuk memperkenalkan dan mempromosi keunikan serta kemeriahan budaya dan bahasa masyarakat Baba dan Nyonya kepada umum. Program ini dijangka akan dilaksanakan pada pertengahan tahun 2023.\n\u201cSelain itu, PERANAKAN juga akan menganjurkan Konvensyen Antarabangsa Baba dan Nyonya Edisi ke-34 di Melaka pada tahun depan dengan tema \u201cBetween Man and Ocean\u201d. Konvensyen ini akan melibatkan masyarakat Baba dan Nyonya dari seluruh dunia seperti dari negara Singapura, Indonesia, Thailand, Australia dan lain-lain,\u201d kongsi Datuk Ronald Gan Yang Hoe.\nKetua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran pula berkata, DBP menyambut baik hasrat PERANAKAN mahu bekerjasama dengan DBP untuk mengangkat, menonjolkan dan mempamerkan keunikan budaya serta bahasa masyarakat Baba dan Nyonya.\n\u201cDemi memperkasakan warisan, budaya, bahasa, sejarah dan tradisi masyarakat Baba dan Nyonya supaya tidak lenyap ditelan arus kemodenan zaman, DBP bercadang supaya dianjurkan satu program selama satu hari yang sarat dengan pelbagai program yang bermanfaat untuk menonjolkan keunikan identiti masyarakat Baba dan Nyonya merangkumi forum, demonstrasi masakan Baba dan Nyonya, persembahan teater, pertandingan koir Baba dan Nyonya berkonsepkan lagu rakyat, pertandingan pantun, sajak dan lain-lain lagi,\u201d kata Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.\nTambah beliau lagi, DBP bersetuju untuk bekerjasama dengan PERANAKAN demi mengangkat dan memartabatkan keunikan masyarakat Baba dan Nyonya seiring dengan kemeriahan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya. Justeru, DBP sentiasa mengalu-alukan sebarang penambahbaikan dan kerjasama daripada semua pihak supaya program kerjasama antara DBP dengan PERANAKAN dapat direalisasikan menjadi kenyataan serta memberi impak dan manfaat yang besar kepada seluruh rakyat Malaysia.\nTurut hadir memeriahkan kunjungan hormat ini ialah Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP; Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP; Haji Mohd Salahuddin Dato\u2019 Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP; Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah DBP; Dr. Azizul Haji Ismail, Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum DBP; Puan Roziah Md Yunus, Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja DBP serta Encik Muhammad Lutfi Zahid, Editor majalah Dewan Budaya." "Beradong Seni Mengangkat Nilai Seni Kreatif, Tampak dan Lukisan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKehadiran pameran Beradong: Gugusan \u2013 Siri Terengganu di Muzium Negeri Terengganu boleh dikatakan sebagai kesinambungan daripada dua pameran yang mengkolaborasikan antara U-Wei Haji Saari dengan Faizal Sidik sebelum ini. Pameran \u201cWayang U-Wei Angkat Saksi\u201d di Galeri 3A dan Galeri 3B di Balai Seni Negara pada tahun 2011 sebagai kurator bersama-sama adalah sebuah pameran yang menghimpunkan beberapa pengkarya dalam membuat interpretasi visual terhadap filem-filem arahan U-Wei. Dalam pameran ini, selain sebagai kurator bersama, penulisan \u201cDari Layar ke Kanvas\u201d yang dihasilkan oleh penulis merupakan sebuah esei yang menghubungkan secara saintifik kedua-dua medium seni tampak dan filem.\nPameran \u201cKali Ini Kita Bersama-Nusantara Sebahagian\u201d di Pusat Kreatif, Balai Seni Negara pada tahun 2019 pula mengangkat isu-isu kewanitaan di rantau Asia Tenggara. Dalam pameran ini, U-Wei memilih sebahagian daripada pelukis-pelukis wanita utama di rantau ini yang terdiri dari Patani, Malaysia, Singapura dan Indonesia. Dalam pameran ini juga, sebuah esei disumbangkan oleh penulis sebagai penyelaras pusat ini, iaitu \u201cKali Ini Kita Bersama-Nusantara Sebahagian: Panggung Seni Dalam Membingkai Babak Ceritera Perempuan\u201d.\nSeterusnya, pameran \u201cBeradong\u201d pada tahun 2022 terhasil daripada pameran induknya, iaitu \u201cGugusan\u201d yang dicadangkan untuk diadakan di sebuah galeri nasional. Pameran \u201cGugusan\u201d boleh dianggap sebagai kesinambungan momentum dua pameran yang dikuratorkan oleh beliau sebelum ini. Keterbukaan dan pelawaan yang diberikan oleh galeri negeri seperti Muzium Negeri Terengganu adalah suatu rahmat dan penghargaan dalam menganjurkan siri pengenalan awal pameran \u201cGugusan\u201d yang dinamakan pameran \u201cBeradong: Gugusan \u2013 Siri Terengganu\u201d.\nBeradong adalah perkataan dialek negeri Terengganu yang bermaksud beriya-iya atau bersungguh-sungguh membuat sesuatu. Pameran \u201cBeradong: Gugusan \u2013 Siri Terengganu\u201d adalah sebuah pameran seni tampak yang menghimpunkan pelukis terpilih kelahiran negeri Terengganu yang terdiri daripada generasi awal dan generasi kini. Pameran ini merupakan projek perintis kepada sebuah pameran seni berskala besar, iaitu \u201cGugusan\u201d yang akan diadakan pada tahun 2023. Pameran ini juga adalah manifestasi kesungguhan dalam mempertembungkan pengkarya lama dan generasi baharu dalam satu ruang yang dekat di hati masyarakat di Muzium Negeri Terengganu.\nSeramai 10 pengkarya seni anak jati Terengganu menampilkan hasil karya seni dalam pameran ini merangkumi arca, catan dan media campuran dalam menginterpretasikan pandangan mereka terhadap alam gugusan ini. Pengkarya pameran ini boleh dibahagikan kepada tiga ganerasi, iaitu pengkarya yang lahir pada tahun 1950-an dan 1960-an, iaitu Mad Anuar Ismail (1952), Tengku Sabri Tengku Ibrahim (1961) dan Suzlee Ibrahim (1967). Generasi kedua pula lahir pada tahun 1970-an seperti Mat Ramli Mansor (1977), Rafidah dan Zainuddin (1977), Zuhdi Nusuki (1978) serta Khairul Anwar Yusoff (1978). Manakala generasi ketiga lahir pada tahun 1980-an seperti Syed Fakaruddin (1989) dan Hisyamuddin Abdullah (1989).\nGenerasi awal dalam pameran ini yang terdiri daripada Mad Anuar, Tengku Sabri dan Suzlee Ibrahim telah mula berkarya sejak tahun 70-an dan 80-an. Pengkaryaan selama 30 hingga 40 tahun memperlihatkan kematangan mereka dalam kemahiran teknik dan penggunaan bahan. Setelah tamat belajar, kebanyakan mereka berkelana dalam kehidupan sebagai pentadbir seni dan pendidik. Walaupun tidak menetap di Terengganu, namun kesenian tradisi asal usul tidak ditinggalkan dan masih kukuh diterapkan dalam pengkaryaan mereka.\nMad Anuar Ismail (Med) dilahirkan di Dungun, Terengganu pada tahun 1952. Beliau terkenal dengan siri arca ukiran kayu dan logam Penongah Arus atau Storm Rider. Siri ini adalah penghormatan Med terhadap nelayan laut yang bertarung nyawa mencari rezeki di lautan yang sering dilambung ombak besar. Dalam pameran ini, Med menghasilkan arca torso salah seorang pengumpul seninya, iaitu Pakhruddin Sulaiman sebagai satu bentuk penghormatan untuknya. Karya Fakh (2002) adalah singkatan nama bagi Pakhruddin yang dikenali dalam kalangan industri seni seperti pelukis, galeri dan kolektor seni di negara ini.\nSungguhpun arca ini merupakan arca yang dibuat daripada kepingan besi, namun identiti visual ukiran kayu menggunakan pahat oleh Med diterapkan dalam karya ini. Sejarah arca torso mula popular semasa zaman Pembaharuan (Renaissance) apabila para bangsawan membayar pengarca untuk menghasilkan arca potret diri mereka sebagai salah satu cara mereka meninggikan lagi status diri mereka.\nTengku Sabri Tengku Ibrahim dilahirkan di Besut, Terengganu pada tahun 1961. Beliau adalah anak Tengku Ibrahim Tengku Wook yang merupakan Adiguru Kraf Ukiran Halus dan Tokoh Kraf Negara. Pada tahun 1980-an, beliau menghasilkan karya hulu keris yang dinamakan Siri Teleng. Pada tahun 1990-an beliau menghasilkan Siri Gunung Daik menggunakan bahan daripada kayu dan wayar imaginasi untuk menghasilkan pembentukan antropomorfik primitif Asia.\nPada tahun 2000-an, berlaku peralihan dalam karyanya, iaitu daripada karya arca kayu pada dinding dan atas pedestal kepada seni pemasangan menggunakan bahan seperti dawai dan tali. Setelah diadun dengan bahan campuran ini, beliau kembali mengarca. Karya Kuda Semberani (2018) adalah arca kayu gabungan bentuk haiwan dan objek primitif.\nSuzlee Ibrahim yang dilahirkan di Kuala Terengganu, Terengganu pada tahun 1967 merupakan pelukis ekspresionisme abstrak. Pada awalnya, beliau dikenali dengan \u201cMovement Series\u201d dan kemudian beralih kepada siri yang menggambarkan tempat kelahirannya yang dekat dengan fenomena maritim. Antara siri yang dihasilkan beliau merangkumi Siri Monsun, Siri Ombak dan Siri Tengkujuh. Karya Waiting for Sakura 5 akrilik atas kanvas pula dihasilkan daripada program bengkel silang budaya antara Malaysia dengan Jepun pada tahun 2007 hingga 2008.\nBengkel seni Japan-Malaysia World Arts & Culture Exhibition for Friendship telah diadakan pada tahun 2007 di Galeri Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur manakala bengkel lanjutan yang dinamakan Art for Earth Aid telah diadakan di Taito Hall, Tokyo Trade Centre, Jepun pada tahun 2008.\nGenerasi kedua pula adalah pengkarya yang lahir pada tahun 1970-an seperti Rafidah dan Zainuddin (1977), Zuhdi Nusuki (1978), Khairul Anwar Yusoff (1978) dan Mat Ramli Mansor (1977). Rafidah Saharuddin dilahirkan di Kemaman, Terengganu. Karya arca kayu Enjit-enjit Semut Siapa Sakit Naik Atas pada tahun 2022 adalah interpretasi mereka terhadap permainan masyarakat terdahulu yang dilagukan dengan membawa persoalan penindasan, ketidakadilan dan gila kuasa dalam kalangan masyarakat.\nEnjit-enjit semut adalah sebuah permainan rakyat yang mengambil sifat semut yang akan menggigit musuhnya apabila berasa terancam atau diserang. Arca kayu enjit-enjit semut berbentuk tungku tiga kaki pada bahagian bawah, manakala bahagian atas yang berketul-ketul adalah metafora kepada tangan-tangan dalam permainan ini. Walaupun karya ini mengambil sifat kesatuan kehidupan serangga itu, namun karya ini lebih dekat dalam memaparkan isu-isu kebebasan daripada dibelenggu. Uniknya dalam karya ini adalah bongkah-bongkah itu boleh dipasang dan dibuka semula mengikut susunan yang diinginkan.\nIrwan Othman dilahirkan di Kuala Terengganu, Terengganu pada tahun 1979. Beliau merupakan pensyarah di Jabatan Seni Halus, Universiti Teknologi MARA Kampus Machang (UiTM Machang), Kelantan dan Pengerusi Persatuan Pelukis Terengganu (PeTer). Karya Indah Kehidupan, Duri Pengajaran Siri I dan Duri Pengajaran Siri II merupakan kesinambungan kepada kisah peribadi pelukis dalam menyatakan perasaan tentang pengalaman perhubungan dengan manusia. Karya yang dihasilkan adalah berkisarkan tentang simbolik hubungan antara manusia.\nAlam semula jadi flora juga dijadikan sebagai lambang kepada penyampaian karya. Bunga mawar sebagai \u201cwatak\u201d dan merupakan simbol yang kuat menggambarkan wanita. Metafora pula dari sudut kecantikan, penghargaan, kasih sayang, kesucian dan tanggapan. Kisah dan perasaan diterjemahkan secara rawak. Warna monokromatik sebagai latar simbolik ringkas tentang kenangan dan nostalgia pada sesuatu yang lepas kebiasaannya berubah kepada hitam dan putih.\nAlpha Generation Studies Series I adalah kesinambungan karya Khairul Anwar Yusoff yang selama ini mengkaji tentang mimik muka. Dalam karya sebelum ini, Khairul Anwar yang lebih dikenali dengan nama Ganu menonjolkan pengaruh media massa atau seperti televisyen terhadap tindak-tanduk psikologi kanak-kanak. Perkembangan teknologi bergerak dengan pantas dan kini beralih kepada era digitalisasi komputer. Kini segala maklumat berada pada hujung jari.\nPada masa kini, kanak-kanak sehingga orang dewasa mudah untuk mendapat sebarang maklumat menerusi penggunaan peranti pintar. Dalam karya Alpha Generation Studies Series I, Khairul Anwar memaparkan dua ahli keluarga sendiri yang tidak terlepas daripada isu ini. Kelihatan dua figura kanak-kanak sedang memegang peranti. Pada sebelah kiri, kanak-kanak perempuan sedang mengepit peranti manakala figura kanak-kanak lelaki pada sebelah kanan sedang memegang dan melihat telefon pintar.\nZuhdi Nusuki dilahirkan di Dungun, Terengganu namun dibesarkan di Kemaman, Terengganu. Selepas tamat belajar dalam bidang seni halus, beliau banyak terlibat dalam pengiklanan komersial dan telefilem sebagai pereka prop dan pengarah seni. Seterusnya, beliau aktif menyertai pameran yang diadakan dengan penerapan karya yang berlatarbelakangkan kerjaya yang dilakukan oleh beliau sebelum ini dalam bidang komersial.\nKarya Jebak 1, Jebak 2 dan Jebak 3 adalah karya berbentuk sangkar yang dihasilkan daripada bahan seperti kayu, rotan dan dawai. Jebak adalah perangkap atau jerat. Jebak juga adalah simbol kepada tipu daya dan muslihat. Karya kraf yang dipersembahkan dalam konteks galeri ini adalah satu daripada keistimewaan kearifan tempatan orang Pantai Timur.\nMat Ramli Mansor dilahirkan di Batu Rakit, Terengganu pada tahun 1977. Beliau merupakan penukang kepada pengarca Tg. Sabri Ibrahim. Karya arca daripada kayu angsana dan mahagoni, iaitu Semangat Benih #3, Semangat Benih #4 dan Semangat Benih 5 adalah arca yang seolah-olah berbentuk hulu keris seperti janin.\nManakala generasi ketiga adalah pengkarya yang lahir pada tahun 1980-an seperti Syed Fakaruddin (1989) dan Hisyamuddin Abdullah (1989). Syed Fakaruddin dilahirkan di Setiu, Terengganu dan memperoleh diploma daripada UiTM Melaka serta sarjana muda dari UiTM Shah Alam. Karya The Wall of Hope (2018) adalah sebuah karya kejutan budaya yang dihadapinya dan direalisasikan dalam siri Bumi Asing pada tahun 2018. Hasil tekstur yang terdapat pada lukisan itu berlaku daripada olesan kasar warna secara berlapis-lapis dan mewakili ekspresi beliau terhadap kerosakan muka bumi yang berlaku disebabkan kerakusan manusia memburu pembangunan.\nPandangan beliau, kemajuan itu satu keperluan, namun tanpa perancangan yang tersusun, pembangunan yang tidak terkawal akan menganggu ekosistem kehidupan alam yang lain, memusnahkan alam sekitar, menyebabkan kehilangan harta benda serta memberi kesan kepada perasaan dan emosi dalaman seseorang.\nHisyamuddin Abdullah dilahirkan di Kuala Terengganu, Terengganu pada tahun 1989. Beliau menyambung pengajian dalam bidang Diploma Seni Halus di UiTM Machang dan sarjana muda di UiTM Shah Alam. Karya Potret Ayah (2012) dalam pameran ini adalah pengkaryaan awal Hisyamuddin yang mula meneroka subjek figura wajah orang tuanya.\nSelain itu, karya yang pernah dihasilkan merangkumi Father Nature (2013) dan Ayah dari Kehidupan Dulu (2012). Dalam karya Potret Ayah, bahagian sisi kanan muka diberi penekanan dengan teknik lukisan lorekan bersilang. Wajah ayah yang berkerut dan berkedut diberi perincian yang utama dalam karya ini.\nSemoga pertembungan antara pengkarya lama dan pengkarya baharu dalam pameran Beradong: Gugusan \u2013 Siri Terengganu ini dapat membina wacana terhadap perkembangan seni tampak Terengganu serta membuka ruang pengkajian dan penyelidikan dalam kalangan ahli akademik tentang keberadaan seniman negeri ini yang membawa nafas kesenian tradisi gugusan dalam nada yang lebih segar.\n*Beradong: Gugusan \u2013 Siri Terengganu adalah sebuah pameran seni tampak yang dianjurkan oleh Morne Gallery (Morne Hashim) dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu yang diadakan di Muzium Negeri Terengganu daripada 20 Oktober hingga 31 Disember 2022. Pameran ini dikuratorkan oleh U-Wei Haji Saari dan Faizal Sidik." "Pertandingan Baca Berita Menyemarakkan Semangat Membaca dalam Kalangan Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Program Temasya Cinta Ilmu (TETAMU) bersempena Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) tahun 2022 telah berlangsung dengan jayanya semalam. Program TETAMU ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Peristilahan dan Leksikologi dengan kerjasama pihak Menara Kuala Lumpur (MKL).\nProgram ini berlangsung pada 24 November 2022 (Khamis), pukul 9.30 pagi hingga 4.30 petang di Amphitheatre, Menara Kuala Lumpur. Pertandingan Baca Berita ini telah menarik minat pelbagai golongan masyarakat yang terdiri daripada kakitangan sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (GLC) dan orang awam.\nTujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk membentuk sebuah masyarakat berilmu yang bertaraf dunia dengan menjadikan amalan membaca sebagai gaya hidup mereka. Program ini juga bersesuaian dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menjadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang tahun 2023 menerusi kempen Malaysia Membaca dan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK).\nProgram TETAMU ini melibatkan dua aktiviti utama, iaitu Pertandingan Baca Berita dan Gema Cinta Ilmu. Pertandingan baca berita disertai oleh 14 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Pertandingan ini diadili oleh dua orang panel hakim, iaitu Encik Norhisham Razali dari Kolej Kemahiran Tinggi MARA dan Puan Norazimah Abu Bakar dari Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).\nDalam pertandingan ini, Yasothaa Velusamy dari Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul sebagai johan. Naib johan pula dirangkul oleh Lisa Licson dari Tzu Chi International School, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Wan Mariah Wan Badrulhisam dari Kuala Lumpur. Tiga orang peserta yang berjaya mendapat hadiah sagu hati ialah Nurul Zawani Hj. Zaidi, Fauziah Ismail dan Nur Hazirah Mohammad.\nSemua pemenang berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai, sijil dan juga hadiah iringan tajaan DBP dan Menara Kuala Lumpur. Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa.\nProgram Gema Cinta Ilmu merupakan program kesenian dan kebudayaan yang melibatkan persembahan dikir barat, sketsa, lagu puisi, nyanyian dan deklamasi sajak. Dikir barat dipersembahkan oleh kumpulan Akademi Arjuna Sukma, persembahan sketsa \u201cAbah dan Anak\u201d daripada Kumpulan Telang dan nyanyian lagu etnik kreatif Budi Bahasa Budaya Kita didendangkan oleh Ummu Nadiah. Badrul Hisham pula menyampaikan lagu puisinya yang bertajuk Kekasih serta Saliza Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Cikgu Zack Kirana turut mendeklamasikan sajak nukilannya yang bertajuk Kitab Ini.\nTurut hadir memeriahkan program ialah Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Encik Nazli Saad; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Puan Adibah Omar; Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi DBP, Encik Mohd Fadzli Tajuid serta Ketua Bahagian Ensiklopedia DBP, Hajah Wardati Md Sheriff." "Festival Antarabangsa Kesenian Rakyat Melibatkan 8 Negara dan 10 Negeri Bakal Diadakan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama beberapa agensi seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan Tourism Selangor akan mengadakan Festival Kesenian Rakyat Antarabangsa Petaling Jaya atau dikenali sebagai PJ International Folklore Festival pada 28 November 2022 hingga 4 Disember 2022\u00a0 bertempat di Dataran Petaling Jaya dan Pusat Bandar Seksyen 52 Petaling Jaya, Selangor.\nFestival anjuran tahunan MBPJ itu bertujuan untuk\u00a0mengetengahkan kepelbagaian kesenian dan budaya komuniti tempatan dan antarabangsa kepada masyarakat dalam usaha memupuk nilai kasih sayang dan cinta akan budaya. Penganjuran PJ Folklore 2022 juga satu daripada usaha untuk mempromosikan bandaraya Petaling Jaya sebagai sebuah kota seni dan destinasi pelancongan antarabangsa.\n\nSempena festival tersebut, pelbagai aktiviti menarik berkaitan dengan kebudayaan dan kesenian akan diadakan yang melibatkan penyertaan 10 negeri termasuklah wilayah persekutuan di Malaysia, iaitu Selangor, Kelantan, Terengganu, Perak, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak. Selain itu,\u00a0lapan buah negara, iaitu Indonesia, Korea Selatan, Filipina, Thailand, Mexico, Sri Lanka, Jepun dan Uzbekistan akan turut serta untuk mengetengahkan kepelbagaian budaya dan kesenian negara masing-masing dalam festival ini.\nSemua program ini dianjurkan secara percuma dan orang ramai diundang hadir untuk memeriahkan lagi festival ini.\nMenerusi program tersebut, MBPJ juga akan mengadakan Festival Makanan Asia bermula dari 25 November 2022 sehingga 4 Disember 2022 di Dataran Petaling Jaya dari 10.00 pagi hingga 12.00 tengah malam." "Semarak Hari Iqra\u2019 dan Pesta Buku Darul Naim 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Kemeriahan Hari Iqra\u2019 dan Pesta Buku Darul Naim 2022 jelas kelihatan apabila lebih 30 pembekal buku menawarkan diskaun hebat berserta dengan pelbagai aktiviti menarik yang dijalankan bermula pada Selasa, 22 November 2022 dan berakhir pada 26 November 2022.\nPerbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) selaku penganjur utama Hari Iqra\u2019 dan Pesta Buku Darul Naim 2022 Peringkat Negeri Kelantan telah berganding bahu bersama-sama beberapa agensi kerajaan dan swasta seperti Perpustakaan Desa Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Majlis Agama Islam dan Adat istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Syarikat Muda Osman dan penerbit lain dalam usaha menyemai semangat membaca dalam kalangan masyarakat melalui pelbagai program yang menarik.\nProgram yang berlangsung di aras bawah Giant Superstore, Tunjong ini menyajikan pelbagai aktiviti menarik seperti Bicara Usahawan, Pertandingan Mewarna, Persembahan Dikir Barat, Pertandingan Membaca Al-Quran dan Tadabbur, aktiviti bersama-sama maskot serta cabutan bertuah yang menawarkan hadiah lumayan kepada para pengunjung. Selain itu, diskaun jualan buku juga turut ditawarkan oleh pembekal buku yang diundang untuk bersama-sama dalam Hari Iqra\u2019 dan Pesta Buku Darul Naim ini.\nDBPWT juga tidak ketinggalan dalam menyambut usaha baik PPAK ini dengan mengadakan jualan buku dan majalah dengan pemberian diskaun sehingga 25% melalui Ujana Buku DBP. Di samping itu, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan di reruai DBPWT seperti Kuiz Bahasa, Suai Padan Perkataan Rumi dan Jawi, Bacaan Mengikut Intonasi yang Betul, dan Pandai Eja.\nMajlis perasmian penutupan Hari Iqra\u2019 dan Pesta Buku Darul Naim telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Yang Amat Berhormat Dato\u2019 Bentara Kanan Ustaz Dato\u2019 Haji Ahmad bin Yakob. Beliau dalam ucapannya menegaskan betapa pentingnya menerapkan amalan membaca terutamanya dalam kalangan generasi muda. Selain itu, beliau turut menggalakkan masyarakat tidak kira tua atau muda agar sentiasa menjadi insan yang berilmu melalui amalan membaca. Jelas beliau lagi,\nKita hendaklah menjadikan amalan membaca sebagai amalan harian kerana dapat membentuk insan yang berilmu serta dapat mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat. Penguasaan ilmu pengetahuan merupakan teras pembentukan masyarakat yang cemerlang. Anggota masyarakat terutamanya ibu bapa perlu berperanan sebagai suri teladan dengan menunjukkan sikap suka membaca supaya dapat dijadikan contoh kepada generasi muda.\nBeliau juga turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang bersempena dengan pertandingan \u201cKeluargaku Keluarga Membaca\u201d yang telah disertai oleh 571 keluarga dari seluruh negeri Kelantan. Sebanyak enam anugerah telah dipertandingkan sejak bulan Mac yang lalu.\n\u00a0\n\nPihak DBPWT turut menyampaikan hadiah kepada pemenang yang menyertai beberapa aktiviti yang dianjurkan oleh DBP." "Nostalgia Budaya Kenduri di Kampung hingga 31 Disember 2022 di Muzium Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menganjurkan Pameran dan Program Nostalgia Anak Kampung Kenduri Kendara @ Muzium Negara bermula dari 12 November hingga 31 Disember 2022. Pelbagai pengisian menarik telah diatur dan dirancang untuk tatapan para pengunjung sepanjang pameran dan program tersebut berlangsung.\nMajlis perasmian pameran dan program tersebut telah berlangsung dengan meriah di dataran Muzium Negara pada 26 November 2022 dan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Hajah Saraya Arbi.\nMenurut Datuk Hajah Saraya Arbi, suasana kemeriahan majlis kenduri-kendara di kampung-kampung pada zaman dahulu kini telah berubah dengan kewujudan pelbagai perkhidmatan perkahwinan seperti katering, penganjur majlis, perancang perkahwinan dan sebagainya.\n\u201cKenduri-kendara yang dianjurkan oleh masyarakat kampung melibatkan seluruh komuniti yang saling bermuafakat dalam kerja-kerja kenduri. Bak kata pepatah, \u201cyang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing\u201d dan \u201chati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah,\u201d ujar Datuk Hajah Saraya Arbi sewaktu berucap merasmikan Pameran dan Program Nostalgia Anak Kampung Kenduri Kendara @ Muzium Negara.\nTambah beliau lagi, nilai budaya yang ditonjolkan dalam adat kenduri-kendara, nilai muafakat serta perpaduan kerjasama semasa kenduri-kendara merupakan antara sepuluh nilai kebersamaan yang menjadi pendokong kepada nilai tinggi Dasar Budaya Negara. Bahkan, nilai tersebut juga merupakan asas kepada pembentukan sebuah negara maju rakyat berbudaya.\n\u201cKeunikan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia merupakan antara daya tarikan utama kepada para pelancong untuk mengunjungi negara kita. Justeru, wajarlah adat dan budaya setiap kaum ini dilestarikan menerusi usaha pendidikan, pendokumentasian dan pameran sebagaimana yang dilakukan oleh Jabatan Muzium Malaysia pada hari ini,\u201d jelas Datuk Hajah Saraya Arbi.\nSewaktu majlis perasmian tersebut, beberapa program menarik turut berlangsung. Antaranya termasuklah persembahan kebudayaan zapin raja sehari, bengkel kenduri kahwin seperti memasak nasi appolo, tekatan benang emas, jom berinai serta demonstrasi membuat bunga manggar, bunga telur dan bunga rampai.\nSepanjang program dan pameran ini berlangsung, pelbagai pertandingan seperti pertandingan gubahan sirih junjung, pertandingan marhaban raja sehari, pertandingan kugiran raja sehari dan lain-lain turut dianjurkan oleh Jabatan Muzium Malaysia. Ayuh semua, mari kita berkunjung ke Muzium Negara untuk bersama-sama mengimbau kembali kemeriahan kenduri-kendara negara kita pada suatu masa dahulu.\nMajlis Pameran dan Program Nostalgia Anak Kampung Kenduri Kendara @ Muzium Negara yang berlangsung semalam boleh ditonton rakamannya menerusi laman media sosial rasmi Facebook Jabatan Muzium Malaysia https://www.facebook.com/nationalmuseumkl/videos/836813574132136." "Hari Mahsuri Disambut Meriah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2013 Pada tanggal 26 November 2022 yang lalu telah berlangsungnya sambutan Hari Mahsuri 2022 anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Anytime Holidays Sdn. Bhd. Langkawi, Panorama Langkawi Sdn. Bhd, Kompleks Kraftangan Langkawi, Telaga Harbour dan Sri Kenayan Sdn. Bhd.\nSambutan ini diadakan di lokasi dan waktu yang berbeza di sekitar Pulau Langkawi, iaitu di SkyCab Langkawi (bermula sekitar jam 9 pagi), Kompleks Kraf Langkawi (bermula sekitar jam 2 petang) dan Kota Mahsuri (bermula sekitar jam 4 petang).\nAntara aktiviti menarik yang diadakan di SkyCab Langkawi termasuklah Machincang Fun Run, pertandingan pakaian klasik bertemakan pakaian Mahsuri dan Wan Derus, pameran serta jualan produk kraf tangan tempatan. Di Kompleks Kraf Langkawi pula diadakan pertandingan congkak, aktiviti mencanting batik dan demonstrasi menghasilkan kuih-muih traditional Melayu. Akhir sekali turut diadakan persembahan teater Mahsuri, persembahan muzik serunai kanak-kanak, demonstrasi menghasilkan kuih-muih traditional Melayu serta permainan sepak raga tuju dengan pelbagai hadiah menarik disediakan.\nDi samping itu, program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran insan yang terkenal dengan ikon Mahsuri, iaitu Wan Aishah Wan Nawawi. Beliau merupakan waris keturunan ketujuh Mahsuri yang kini menetap di Phuket, Thailand. Rombongan Wan Aishah ke Langkawi diiringi oleh pasukan konvoi luncur jet air dari Satun, Thailand yang telah tiba pada 25 November 2022.\nMahsuri merupakan seorang wanita yang pernah menetap di Pulau Langkawi dan telah dijatuhi hukuman mati kerana fitnah. Kisahnya telah menjadi sebuah legenda bukan sahaja di Pulau Langkawi, malahan terkenal di seluruh Malaysia dan di selatan Thailand. Hingga kini, hubungan Wan Aishah dengan Pulau Langkawi masih terjalin dengan baik dan mesra.\nPara penduduk Langkawi dan pelancong tempatan tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra dengan Wan Aishah dan keluarganya di setiap lokasi program. Hasrat pihak penganjur untuk mengetengahkan program seumpama ini di Pulau Langkawi disambut baik oleh pelbagai pihak dan semoga program seperti ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang dengan kepelbagaian aktiviti yang lebih meluas. Program ini merupakan sambutan tahun kedua yang diadakan pada setiap hari Sabtu minggu ketiga bulan November." "Majlis Istiadat Kerjan Pelantikan Dato Jenara Suku Tanah Datar: Lambang Warisan Adat Perpatih\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLabu \u2013 Majlis Istiadat Kerjan Pelantikan Dato Jenara Suku Tanah Datar telah berlangsung dengan jayanya semalam. Majlis istiadat kerjan ini dianjurkan oleh Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pulau, Labu, Negeri Sembilan dan berlangsung pada 27 November 2022 (Ahad), pukul 10.00 pagi hingga 2.00 petang di Balai raya Kampung Pulau, Labu, Negeri Sembilan.\nTujuan majlis istiadat kerjan ini diadakan adalah untuk memasyhurkan, mengisytiharkan dan menabalkan Dato Jenara Suku Tanah Datar yang baharu, iaitu Yang Mulia (YM) Dato\u2019 Haji Ismail Haji Abdul Samad berdasarkan adat Perpatih yang penuh dengan istiadat.\nMajlis istiadat kerjan ini bermula dengan upacara \u201cBerlagir Limau\u201d di rumah ibu soko. Kemudian Dato Jenara Suku Tanah Datar yang baharu diarak dari rumah ibu soko menuju ke tempat pengisytiharan. Seterusnya, majlis diteruskan dengan istiadat pengisytiharan oleh ibu soko, penyerahan sirih dan keris pusaka, pengucupan keris pusaka oleh Dato Jenara Suku Tanah Datar yang baharu sebagai lambang menerima pelantikan dan diakhiri dengan lafaz ikrar taat setia oleh ibu soko.\nPerasmian dan penutupan Majlis Istiadat Kerjan Pelantikan Dato Jenara Suku Tanah Datar ini disempurnakan oleh Yang Berhormat (YB) Dato\u2019 Haji Ismail Ahmad, Exco Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Negeri Sembilan.\nMenurut YB Dato\u2019 Haji Ismail Ahmad, menerusi pengamalan warisan, adat dan budaya yang konsisten, masyarakat yang mengamalkan adat Perpatih akan dihormati dan dikenang oleh orang lain apabila mempraktikkan warisan, adat dan budaya tersebut dalam kehidupan seharian. Namun jika anak bangsa tempatan tidak berasa bangga, malu dan tidak berusaha untuk memartabatkan dan mempertahankan salasilah keturunan, budaya dan tradisi adat yang diwarisi daripada nenek moyang, maka orang lain akan memandang rendah serta tidak akan menghormati sesuatu suku atau kaum tersebut kerana tiada jati diri yang sejati.\n\u201cSaya menyeru kepada semua buapak dan luak yang hadir supaya kita bersama-sama berkumpul dan berbincang tentang cara dan kaedah yang terbaik untuk mengekalkan, memperkasakan dan menambah baik warisan, budaya dan adat kita ini supaya tidak hilang ditelan arus perubahan zaman,\u201d ujar YB Dato\u2019 Haji Ismail Ahmad.\nMajlis Istiadat Kerjan Pelantikan Dato Jenara Suku Tanah Datar ini turut diserikan dengan ceramah adat yang bertajuk Peranan dan Tanggungjawab Institusi Adat oleh Daulat Yang di-Pertuan (DYDP) Yamtuan Naning, Tuanku Dr. Shafary Haji Othman, persembahan silat, pameran pelbagai jenis keris dan tanjak serta penyampaian cenderamata.\nTurut hadir memeriahkan program ialah Dato Lembaga, Yang Mulia (YM) Dato\u2019 Muda Labu (Bergajah Tunggal), Tuan Haji Kamaruddin Haji Mohd Awal; YM Dato\u2019 Andulika Mandalika, Zainol Ariffin Ibrahim; Ibu Soko Tanah Datar Sorong Baleh, Puan Asnah Selatin; Ibu Soko Tanah Datar Tanjung Keling, Puan Hajah Fauziah Mohd Ali; Ibu Soko Tanah Datar Gunung Pasir, Puan Hajah Amnah Ismail; YM Kodim Perut Tanjong Keling, Tuan Haji Ahmad Islamiddin; YM Kodim Perut Sorong Baleh, Tuan Haji Harifin Haji Omar; YM Kodim Gunung Pasir, Tuan Haji Alwi Ismail serta YM Dato Penghulu Mukim Labu, Tuan Haji Mohd Faudzi Mohd Isa." "Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKUALA LUMPUR \u2212 Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan juga bahasa pengantar utama untuk berkomunikasi di Malaysia. Bahasa Melayu juga bukan sekadar lambang jati diri warga Malaysia, bahkan sebagai lambang negara Malaysia di persada dunia. Namun begitu, ada segelintir dalam kalangan masyarakat yang beranggapan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa untuk golongan rendah dan mereka juga lebih mengagung-agungkan bahasa Inggeris, terutamanya dalam bidang sains dan matematik.\nSains dan matematik ialah ilmu pengetahuan, sementara bahasa yang digunakan pula sebagai bahasa pengantar. Sehubungan dengan itu, masyarakat perlu sedar tentang konsep bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan selaku bahasa ibunda. Oleh itu, bahasa Melayu perlu digunakan dengan selesa dan ilmu dalam kedua-dua bidang tersebut juga perlu diperluas dengan penggunaan bahasa Melayu dalam usaha mengembangkan bidang teknologi dan maklumat di samping penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.\nDengan mengambil kira perkara tersebut, Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi dengan kerjasama Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) menganjurkan program Bual\u00a0 Bicara yang bertajuk \u201cMemperkasakan Bahasa Melayu dalam Sains Matematik: Realiti dan Cabaran\u201d bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan 2021 (peringkat pertubuhan bukan kerajaan).\nAntara panel yang diundang bagi program tersebut termasuklah YBhg. Dato\u2019 Profesor Dr. Noraini Idris dari Universiti Malaya yang juga selaku Pengerusi Persatuan STEM Kebangsaan, YBhg. Profesor Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain (Felow Kehormat, IKIM) dan YBhg. Profesor Dr. Mohd Salmi Md Noorani (Pensyarah Sains dan Matematik, UKM) dan YBhg. Dr. Daud Mohamad dari Universiti Teknologi MARA sebagai pemudah cara menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 10.30 pagi tadi.\nMenurut YBhg. Dato\u2019 Profesor Dr. Noraini Idris, bahasa Melayu amat dibanggakan oleh rakyat Malaysia sebagai bahasa ibunda. Semua peringkat golongan daripada masyarakat umum sehingga kepada ahli-ahli politik perlu menggunakan bahasa Melayu dalam bidang sains dan matematik.\n\u201cPeranan sains dan matematik lebih kepada cara kita melahirkan insan yang berupaya berfikir untuk mencari penyelesaian masalah, berinovasi dan kreatif yang bukan sekadar individu yang suka menggunakan medium teknologi sahaja. Sebagai contoh, isu utama dunia pada masa ini berkaitan dengan kesihatan. Di sinilah peranan sains dan matematik dalam membantu negara melalui penggunaan data yang berkaitan dengan COVID-19. Data tersebut dipaparkan pada setiap hari. Daripada data tersebut, kita dapat mempelajari tentang sains dan matematik. Di sinilah pentingnya sains dan matematik dalam kehidupan seharian dan data perlu diperbanyak dalam bahasa Melayu. \u201c\nUjarnya lagi, sains dan matematik dapat membantu seseorang itu membuat keputusan atau menyelesaikan masalah secara inovatif dan kreatif.\u00a0 Oleh itu, sains dan matematik perlu diterokai oleh semua masyarakat. Sebagai contoh, matematik dapat membantu seseorang itu berfikir secara analitik dalam membuat hujah dan keputusan.\nManakala menurut YBhg. Profesor Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain pula, para naib canselor di universiti awam dan swasta perlu membina satu perancangan bagi pembinaan bahasa Melayu di samping kesedaran dalam pembinaan negara bangsa.\nDi samping itu, menurut YBhg. Profesor Dr. Mohd Salmi Md Noorani, bahasa Melayu mestilah terus digunakan dengan gah dalam bidang sains dan matematik bagi memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Usaha menampilkan sains dan matematik dalam bahasa Melayu perlu dipergiat dan diperluas agar bidang ilmu ini kekal relevan di negara ini.\n\u201cKita harus membawa ilmu sains dan matematik kepada masyarakat umum dalam bahasa yang paling bersahaja, iaitu melalui penggunaan bahasa Melayu. Tidak ada cacat celanya dari segi penggunaan bahasa ini dalam bidang sains dan matematik. Dengan cara ini, kita bukan sahaja boleh menjadikan masyarakat lebih berpengetahuan, lebih canggih dan sofistikated, bahkan dapat menjadikan sains dan matematik sebagai ilmu rintis yang bukan hanya untuk pengajian di menara gading sahaja. selain itu, penggunaan media sosial seperti Youtube, Twitter, Blog, Instagram dan lain-lain juga dalam bidang sains dan matematik juga perlu diperbanyakkan.\u201d ujarnya lagi." "Perpaduan Diutamakan demi Menjayakan Pembangunan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani \u2013 Program Semarak Perpaduan Negeri Kedah yang dihadiri oleh 120 orang peserta telah berlangsung di The Jerai Hotel, Sungai Petani, Kedah semalam. Program ini berupaya menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul berkaitan perpaduan dan muhibah dalam kalangan masyarakat Malaysia.\nKelab Sukan dan Kebajikan (KESBEB), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Kedah berpuas hati dengan penganjuran program tersebut yang bermula pada jam 3.30 petang dan berakhir pada jam 7.00 malam.\nMenurut Pengerusi KESBEB, Mohd Fakhzan Nasir, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak pengurusan kelab untuk meningkatkan bidang kerjaya setiap ahlinya dari semasa ke semasa.\n\u201cPihak kelab turut menerima pelbagai rungutan, termasuklah isu kenderaan-kenderaan jabatan yang uzur di beberapa buah lokasi, kekosongan jawatan di tempat-tempat tertentu yang belum diisi serta lain-lain lagi. Walau bagaimanapun, apabila setiap masalah itu berjaya diselesaikan oleh pihak Kementerian Perpaduan Negara (KPN), tugas guru pendidikan di Tabika Perpaduan, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negeri ini sudah tentu menjadi bertambah baik,\u201c kata Mohd Fakhzan Nasir.\nPada masa ini, seramai 277 orang kakitangan bertugas di JPNIN Negeri Kedah dan setiap ahli kelab akan turut menikmati pelbagai bantuan sumbangan khas, termasuklah kes kematian keluarga.\nDi samping itu, Ketua Pengarah JPNIN, Dato\u2019 Hajah Norison Ramli semasa merasmikan program itu berkata, langkah-langkah yang diambil oleh KESBEB seperti penganjuran program seumpama ini adalah amat baik dan memberangsangkan.\nTambah beliau lagi, para petugas di agensi ini perlu bersahabat dengan sesiapa sahaja dan membina rangkaian hubungan yang kuat, termasuklah dalam kalangan artis tanah air bagi mengeratkan keharmonian hubungan antara satu dengan yang lain.\n\u201cSaya akan cuba menyelesaikan setiap masalah yang wujud, bukan hanya masalah di Negeri Kedah sahaja, bahkan merangkumi seluruh negara termasuklah Sabah dan Sarawak. Selain itu, saya berharap apabila Parlimen Malaysia membentangkan belanjawan untuk tahun 2023 nanti, JPNIN akan turut menerima pelbagai manfaat berdasarkan peruntukan yang diberi untuk menyelesaikan setiap isu dan masalah dalam JPNIN,\u201c jelas Dato\u2019 Hajah Norison Ramli.\nSeterusnya, Pengarah JPNIN Negeri Kedah, Ahmad Puat Junus menyatakan bahawa sesi dialog yang diadakan berjaya merungkai beberapa masalah dan penduduk di setiap daerah di negeri Kedah boleh mendapat pelbagai manfaat apabila saling bekerjasama untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan, merangkumi agihan bantuan bencana banjir dan sebagainya." "PALMA 2022 Menjulang Lagu Melayu di Persada Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pertandingan Nyanyian Lagu Melayu Antarabangsa (PALMA) 2022 telah berlangsung pada 30 November 2022 (Rabu) pada pukul 8.00 malam hingga 11.00 malam di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.\nTujuan PALMA 2022 ini dianjurkan adalah untuk mengetengahkan dan menonjolkan bakat menyanyi lagu bahasa Melayu dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia yang bukan warganegara Malaysia serta memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam seni lagu pada peringkat antarabangsa.\nPALMA 2022 ini dianjurkan oleh Persatuan Badan Budaya DBP dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik (APU) serta disokong oleh DBP, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).\nPertandingan nyanyian lagu ini dinilai oleh tiga orang panel juri, iaitu Datuk Mokhzani Ismail, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Muzik Radio dan Televisyen Malaysia (RTM); Encik Ramlan Mohd Imam, Pengarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta Dato\u2019 Wan Aishah Wan Ariffin, seorang penyanyi, penulis lagu dan pelakon.\nDi samping itu, sebanyak 10 peserta berjaya mara ke peringkat akhir PALMA 2022 ini. Chen Xu dari China muncul sebagai johan keseluruhan PALMA 2022 dan pemenang Kategori Vokal Terbaik dengan mendendangkan lagu Bahagiamu Deritaku nyanyian asal oleh Hafiz Suip serta berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM8000, piala pusingan, trofi, sijil dan hadiah iringan tajaan DBP.\nNaib johan pula dirangkul oleh Shannon Nalam Adrianna Kamlus dari Papua New Guinea dengan dendangan lagu Kau Terlalu Istimewa nyanyian asal oleh Allahyarhamah Adibah Noor. Manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Ranepura Hewage Janithi Jinethra Renepura dari Sri Lanka dengan tajuk lagu Semalam nyanyian asal oleh Aina Abdul. Kedua-dua mereka masing-masing berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM5000 dan RM3000 beserta trofi, sijil dan hadiah iringan tajaan DBP.\nTujuh orang peserta yang berjaya memenangi hadiah sagu hati pula ialah Abdullahi Abdi Abu Bakar Hassan dari Somalia, Ashley Mutanaugwa dari Zimbabwe, Huang Yuxiao dari China, Sujana Shafi dari Bangladesh, Choi Ji Yeon dari Korea Selatan, Pan Hui dari China dan Mohamach Rouslan dari Vietnam. Semua pemenang berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1000, trofi, sijil dan hadiah iringan tajaan DBP.\nKategori Persembahan Terbaik pula dimenangi oleh Huang Yuxiao dari China yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM1000, trofi, sijil dan hadiah iringan tajaan DBP menerusi dendangan lagu Satu Hari Nanti nyanyian asal oleh Najwa Latif.\nTurut hadir menyerikan majlis ialah Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Hajah Saraya Arbi; Ketua Pengarah JKKN, Tuan Haji Mesran Mohd Yusop; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md Johari Hasan; Naib Canselor APU, Profesor Dr. Ho Chin Kuan dan Penasihat Persatuan Badan Budaya DBP, Encik Abdul Wahab Hamzah." "Batik Motif Bunga Tanjung Lambang Identiti Selangor\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Kerajaan negeri Selangor melancarkan Batik Selangor bermotifkan bunga tanjung yang menjadi identiti negeri Selangor kepada barisan exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan para penjawat awam di Selangor semalam. Menteri Besar Selangor, Yang Berhormat (YB) Dato\u2019 Seri Amirudin Shari hadir menyempurnakan perasmian Majlis Pelancaran Batik Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam, Selangor.\nYB Dato\u2019 Seri Amirudin menyarankan agar Batik Selangor dipakai dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti yang dilaksanakan pada peringkat parlimen. Walau bagaimanapun, DUN Selangor masih lagi tidak mempunyai peraturan tersebut.\n\u201cPemilihan motif bunga tanjung sebagai identiti negeri Selangor kerana bunga tersebut mempunyai karakter yang unik, bersifat menyeluruh, berkecuali dan tidak berkait dengan mana-mana parti politik bagi membolehkan semua pihak menggunakan corak tersebut,\u201d kata YB Dato\u2019 Seri Amirudin ketika berucap merasmikan majlis pelancaran.\nBeliau juga percaya bahawa motif ini akan digemari dan digunakan pada sambutan-sambutan atau pakaian rasmi dan semi kasual yang ada dalam kehidupan seharian. Tambah beliau lagi, pihaknya juga perlu melaksanakan promosi dan pembudayaan pemakaian Batik Selangor kerana hal tersebut bukan sekadar aspek kesenian, bahkan pembudayaan tersebut perlu diamalkan, dipraktikkan, dipakai dan digunakan sebagai karakter dan watak untuk negeri Selangor.\nSelain itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri Selangor, YB Borhan Aman Shah pula berkata, pemakaian batik wajar diperluas sama ada secara formal atau tidak formal.\n\u201cUsaha mengangkat seni batik bertujuan untuk memartabatkan batik tempatan, membangunkan industri tekstil berasaskan seni kreatif negara serta mengekalkan dan mempromosi identiti warisan negara,\u201d ujar YB Borhan ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majlis tersebut.\nTambah beliau lagi, kerajaan negeri Selangor menerusi agensi yang bertanggungjawab, iaitu Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) telah melaksanakan inisiatif membangunkan reka bentuk Batik Selangor, khusus bagi kegunaan barisan exco, ADUN dan juga para penjawat awam negeri Selangor.\nBaju batik Selangor menampilkan corak bunga tanjung berkelopak sembilan yang bakal dijadikan identiti rasmi negeri Selangor dihasilkan oleh PADAT dan Kraftangan Malaysia. Olahan motif yang ada pada Batik Selangor mempunyai maksud yang tersendiri, iaitu sembilan kelopak bunga tanjung melambangkan sembilan daerah yang terdapat di negeri Selangor dan pecahan tiga garisan pada setiap kelopak pula membawa maksud perpaduan masyarakat.\nDalam majlis tersebut turut diadakan sesi peragaan Batik Selangor oleh Kumpulan Kesenian PADAT yang menampilkan 10 rekaan baju batik bermotif bunga tanjung. Majlis perasmian Batik Selangor yang berlangsung pada petang semalam boleh ditonton secara dalam talian melalui laman media sosial Facebook PADAT di https://www.facebook.com/PADATSelangor/videos/518602773639827." "Hari Batik Malaysia 2022 Menjulang Hasil Produk Anak Watan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Kraftangan Malaysia telah menganjurkan Sambutan Hari Batik Malaysia 2022 yang disempurnakan oleh Datuk Hajah Saraya Arbi, Ketua Setiausaha MOTAC di Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada 3 Disember 2022.\nSempena Sambutan Hari Batik Malaysia 2022 yang disambut pada 3 Disember setiap tahun, Kraftangan Malaysia telah melancarkan logo Batik Malaysia yang merupakan satu daripada inisiatif Kraftangan Malaysia bagi menonjolkan jenama dan keaslian produk batik Malaysia yang diusahakan oleh para usahawan tempatan.\nSelain itu, majlis sambutan tersebut turut dipenuhi dengan pelbagai aktiviti seperti eksplorasi kraf, ekspresi kraf batik, jualan produk kraf batik, pameran kraf, pameran Institut Kraf Negara (IKN) dan pelbagai jualan makanan dan minuman.\nLebih menarik lagi, majlis sambutan itu juga disemarakkan dengan aktiviti Acara Mewarna Batik Teramai di bawah aktiviti \u201cCakna Kraf\u201d yang turut disenaraikan dalam Malaysian Book of Record dengan penyertaan seramai 2000 orang peserta daripada semua lapisan masyarakat yang diadakan serentak di Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri seluruh Malaysia dan Kompleks Kraf Kuala Lumpur.\nMenurut Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Saraya Arbi, aktiviti ini memberi pendedahan dan kefahaman kepada para peserta berkaitan teknik, proses dan reka corak batik Malaysia.\n\u201cBahkan, para peseta berpeluang mewarnakan reka corak batik mengikut kemahiran, kreativiti serta idea masing-masing dalam menghasilkan batik yang menarik dengan warna yang pelbagai. Tambahan lagi, dalam tempoh Januari hingga Oktober lalu, industri batik memperlihatkan peningkatan jualan sebanyak 78 peratus,\u201d ujar Datuk Saraya.\nDi samping itu, pemilihan tanggal 3 Disember sebagai Hari Batik Malaysia merupakan lambang tanda penghormatan dan peringatan kepada sumbangan Allahyarhamah Tun Datin Paduka Seri Endon Mahmood yang memulakan gerakan Malaysian Batik Crafted for the World untuk membawa batik tempatan ke persada antarabangsa pada tarikh tersebut.\nPengisytiharan hari batik itu juga secara langsung dapat melahirkan lebih ramai usahawan dan komuniti kraf batik yang kreatif dan inovatif. Hal ini secara langsung dapat melonjakkan permintaan terhadap produk batik dan seterusnya meningkatkan pendapatan usahawan komuniti serta keseluruhan rantaian pengeluaran.\nMOTAC menerusi Kraftangan Malaysia akan terus menyokong kempen-kempen produk kraf bagi membantu melonjakkan permintaan produk kraf serta membantu ekonomi usahawan dan pembangunan kraf negara.\nMajlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Mohd Yusri Mohd Yusof; Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia, Dato\u2019 Haji Abdullah Haji Abd Rahman; Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Puan Ainu Sham Ramli dan Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan MOTAC, Dr. Tan Awang Besar." "Raja Permaisuri Agong Menghadiahkan Keringkam kepada Muzium Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Pelancaran Lembaran Emas Siri 2: Simposium Tekstil Borneo 2022 yang bertemakan \u201cMenghubungkan Tekstil kepada Komuniti untuk Pertumbuhan Mampan\u201d di Hotel Pullman, Kuching, Sarawak yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 5 hingga 7 Disember 2022.\nDalam majlis tersebut, KDYMM Raja Permaisuri Agong turut berkenan menghadiahkan Keringkam Sarawak milik baginda kepada Muzium Sarawak untuk dipamerkan kepada khalayak umum.\nTitah KDYMM baginda, keringkam berusia 35 tahun yang diterima baginda merupakan satu daripada hantaran perkahwinan yang mempunyai nilai seni yang tinggi serta perlu dihargai dan dihayati oleh generasi baharu supaya tidak lupa untuk memartabatkan keindahan seni tenunan kain.\n\u201cPada hari ini, saya mahu menyerahkan keringkam ini kepada kerajaan negeri Sarawak untuk dipamerkan di Muzium Sarawak kerana ianya merupakan keringkam buatan Sarawak,\u201d titah KDYMM baginda pada Majlis Pelancaran Lembaran Emas Siri 2: Simposium Tekstil Borneo 2022 di Hotel Pullman Kuching.\nKDYMM baginda turut bertitah bahawa wilayah di Kepulauan Borneo, iaitu Sarawak, Sabah dan Brunei mempunyai pelbagai hasil kekayaan warisan tekstil yang masih belum diterokai dan KDYMM baginda berkenan untuk mambawa hasil seni atau kraf tangan asli Sarawak ke London bersempena Minggu Kraf London pada tahun depan yang bertemakan etnik asli, seni corak dan kraf.\n\u201cSaya berharap seluruh dunia akan dapat melihat kekayaan hasil seni dan kraf yang kita ada seperti songket keringkam daripada Melayu Sarawak, Pua Kumbu daripada kaum Iban serta songket Rajang Melanau yang terkenal dengan teknik bunga tersembunyi kerana orang Barat sangat suka dengan nilai seni dan corak,\u201d titah KDYMM baginda lagi.\nKDYMM Raja Permaisuri Agong turut memohon kepada enam penjara di Sarawak supaya menghasilkan produk kraf yang berbeza dan mencabar Penjara Puncak Borneo untuk menghasilkan Pua Kumbu dalam penghasilan dan tenunan samping.\nDi samping itu, KDYMM baginda bertitah kepada para tukang tenun yang mahir agar tidak lokek berkongsi ilmu serta menurunkan kemahiran yang ada kepada generasi baharu kerana kini semakin berkurangan individu yang mahir dan pakar yang terlibat dalam bidang ini.\nKeringkam merupakan selendang, skaf atau tudung tradisional yang menjadi lambang mahkota dan antara pelengkap busana tradisonal bagi wanita Melayu di Sarawak yang menyerlahkan lagi keayuan serta kelembutan mereka.\nSeramai 12 orang penceramah ternama termasuklah wakil-wakil dari luar negara seperti Indonesia, Brunei Darussalam, Belanda dan Turki telah diundang. Turut hadir menyerikan majlis ialah isteri kepada Premier Sarawak, Datuk Amar Hajah Juma\u2019ani Tun Tuanku Haji Bujang.\nTujuan program ini adalah untuk memupuk hubungan antara masyarakat dengan para pemain industri tekstil selain menjadi platform pertukaran idea ke arah pemeliharaan dan kemampanan tekstil di seluruh dunia.\nSimposium ini juga adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan selepas Simposium Tekstil Asean yang telah diadakan di Putrajaya pada September lalu dengan penyertaan dari negara-negara di rantau Asia Tenggara serta dari benua lain merangkumi India dan negara-negara Eropah. Majlis perasmian tersebut boleh ditonton secara dalam talian di https://www.facebook.com/unitkomunikasidanpenerangansarawak/videos/514647610612195." "\u201cSemalam di Taman Firdausi\u201c bersama-sama Kelab Peminat P. Ramlee Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Yang Berhormat (YB) Dato\u2019 Sri Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak hadir ke Majlis Makan Malam Tahunan Kelab Peminat P. Ramlee Sarawak (KPPRS) yang bertemakan \u201cSemalam di Taman Firdausi\u201d di Hotel Penview, Kuching, Sarawak pada 9 Disember 2022.\nBeliau hadir bagi mewakili Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat (YAB) Tan Sri Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg pada majlis yang amat bermakna tersebut. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Datu Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah selaku Presiden KPPRS serta Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBP Cawangan Sarawak).\nDalam ucapan perasmiannya, beliau menyebut tentang tempoh sedekad penubuhan KPPRS yang seharusnya diwarisi oleh generasi sekarang dari segi keterlibatan ahli dalam persembahan seni dan nyanyian. Beliau turut berkata, peranan yang dimainkan oleh kelab-kelab berasaskan seni dan persembahan perlu lebih giat, aktif dan rancak dirancang serta dilaksanakan agar dapat terus memacu agenda perancangan kerajaan negeri Sarawak pada tahun 2023 kelak.\nDalam majlis yang gilang-gemilang tersebut juga, dif-dif kenamaan dan tetamu yang hadir disajikan dengan pelbagai persembahan yang menarik. Antaranya termasuklah persembahan Gendang Selamat Datang, Dendangan Nyanyian dan Lakonan Semula filem-filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee seperti filem Madu Tiga, Taman Firdausi, Malam Ku Bermimpi, Joget Malaysia, Entah di Mana, Gurindam Jiwa dan lain-lain. Unik dan menariknya dalam majlis tersebut, Tuan Haji Saiee Driss, iaitu Setiausaha KPPRS telah mempuisikan bacaan doa buat julung-julung kalinya di hadapan para tetamu yang hadir.\nSelain itu, dalam majlis tersebut juga turut diadakan upacara tradisi KPPRS, iaitu memotong pulut kuning bersempena dengan ulang tahun KPPRS dan penyampaian sijil penghargaan kepada rakan sinergi serta rakan kongsi KPPRS. Tidak dilupakan juga penyampaian sumbangan kebajikan kepada waris ahli-ahli KPPRS yang telah pulang dijemput Ilahi.\nKelab Peminat P. Ramlee Sarawak (KPPRS) ditubuhkan pada 30 Jun 2012 dan diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada 1 Oktober 2012 dengan nombor pendaftaran PPM-028-13-01102012. Dalam Mesyuarat Agung pertama KPPRS yang diadakan pada 27 Januari 2013, jawatankuasa KPPRS tahun 2013 \u2013 2014 telah dibentuk dan diberikan kuasa penuh untuk menggunakan pengalaman dan kebijaksanaan ahli-ahli yang dipilih dalam menggerakkan perancangan program dan visi kelab ini.\nDiharapkan semoga KPPRS akan semakin giat aktif dalam merancang perjalanan aktiviti dan program di samping menyemarakkan aktiviti seni budaya dan persembahan kreatif di seluruh Sarawak serta pada peringkat antarabangsa. Insya-Allah." "Mushaf al-Quran Terengganu Diisytihar Sebagai Warisan Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Nerus \u2013 Empat mushaf al-Quran Terengganu koleksi Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) diwartakan sebagai warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (akta 645). Pengisytiharan tersebut berlangsung dalam Majlis Santapan Petang sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke-20 pada 10 Disember 2022.\nKebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah telah berkenan mencemar duli dan seterusnya menyempurnakan pengisytiharan tersebut. Pada masa yang sama, KDYMM Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan KDYMM Sultanah Nur Zahirah turut berkenan melawat pameran Kesucian dan Keindahan Mushaf al-Quran Diraja Terengganu.\nPameran ini memaparkan secara terperinci keunikan yang terdapat pada mushaf al-Quran Terengganu meliputi diaspora, kaligrafi, motif, material serta penjilidan sehingga mushaf al-Quran ini diterima untuk diwartakan sebagai warisan negara.\nMenurut Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar, usaha pewartaan ini mula digerakkan pada tahun 2020 oleh penyelidik UMT yang diketuai oleh Pengarah Pusat Islam Sultan Mahmud UMT, Dr. Riswadi Azmi.\n\u201cPengetahuan umum mengenai keunikan warisan kesultanan Terengganu ini perlu dihebahkan kepada masyarakat dan melalui pewartaan ini juga, usaha pemuliharaan dapat dilakukan oleh pihak-pihak berkaitan demi kelestarian warisan budaya negara,\u201d ujar Profesor Datuk Dr. Mazlan.\nUMT dengan kerjasama LMNT telah melaksanakan pelbagai inisiatif demi memastikan warisan ini sentiasa dihargai dan dipelihara. Demi memastikan warisan suci ini dihargai pada peringkat global, cadangan UMT telah diterima sebagai senarai akhir negara oleh Jabatan Warisan Negara untuk mencalonkannya dalam daftar Peringatan Dunia UNESCO.\nPihak UMT juga turut menjalin kerjasama dengan penyelidik daripada pelbagai agensi dalam dan luar negara terutamanya dengan Ketua Kurator Seksyen Asia Tenggara, British Library, Dato\u2019 Dr. Annabel Teh Gallop dalam konservasi manuskrip al-Quran Terenganu. Usaha ini juga turut disokong oleh Ericsson (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi membangunkan Galeri Digital Warisan Budaya.\nSehubungan dengan itu, UMT telah berjaya mendigitalkan enam manuskrip al-Quran Terengganu yang disimpan oleh pihak muzium menggunakan teknologi realiti terimbuh (Augmented Reality) dan menempatkannya di dalam Galeri Digital Warisan Budaya UMT.\n\u201cDengan kewujudan galeri ini, al-Quran Terengganu bakal menjadi tumpuan para penyelidik dan pelajar untuk mengkaji keunikan manuskrip al-Quran Emas, iaitu warisan kesultanan Terengganu yang diiktiraf paling cantik di Asia Tenggara,\u201d tambah beliau.\nSebagai pemakluman, kajian UMT merekodkan 45 manuskrip ini berada di dalam dan luar negara. Jumlah manuskrip yang banyak melebihi jangkaan kerana untuk menghasilkan senaskhah manuskrip tulisan tangan pada abad ke-19 ini memerlukan tuntutan masa, tenaga dan kos yang tinggi sekali gus membuktikan negeri Terengganu pernah menjadi pusat penyalinan mushaf al-Quran yang paling terkemuka dan terkenal di rantau Asia Tenggara.\nTurut hadir dalam majlis tersebuat ialah Menteri Besar Terengganu, YAB Dato\u2019 Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Yang Berhormat (YB) Dato\u2019 Haji Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, YB Mulia Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, Ahli-ahli Lembaga Pengarah UMT dan para naib canselor university serta wakil-wakil Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Malaysia.\nPengisytiharan yang berlangsung pada Majlis Santapan Petang sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke-20 tersebut turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Youtube UMT, https://www.youtube.com/watch?v=GNLVShOKU4s." "LAIN MACAM 2022 Pamer Nilai Kesenian dan Keunikan Penghasilan Arca\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2013 Pada tanggal 10 Disember yang lalu telah berlangsung program Langkawi International Marble Art Camp 2022 (LAIN MACAM 2022) di Dikaki Tower House Gunung Raya, Langkawi anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Balai Seni Negara (BSN).\nLAIN MACAM 2022 dimulakan dengan majlis perasmian program oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Encik Mohd Yusri Mohd Yusoff. Turut hadir memeriahkan majlis perasmian ialah Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Encik Ameruddin Ahmad, Ahli-ahli Lembaga Pengarah LPSVN, iaitu Encik Hazlan Abdul Aziz, Dato\u2019 Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa, Profesor Madya Dr. Lim Swee Tin, Encik Iskandar Abdullah, barisan kepimpinan BSN dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).\nMenurut Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Encik Ameruddin Ahmad, matlamat program ini adalah untuk mengumpulkan para pengkarya atau seniman arca di rantau Asia Tenggara untuk berkongsi ilmu dengan komuniti dan masyarakat setempat yang mempunyai minat yang sama.\n\u201cDi samping itu, para pengunjung dapat menimba ilmu tentang penghasilan arca dengan kemahiran dan cara-cara tertentu serta kaedah mengolah idea yang mungkin berbeza. Justeru, saya berharap agar program ini dapat membantu komuniti setempat menajamkan kemahiran mereka dan secara tidak langsung dapat membantu menjana pendapatan mereka,\u201d uajr Encik Ameruddin Ahmad.\nLAIN MACAM 2022 yang diadakan dari 2 hingga 15 Disember 2022 merupakan penganjuran kali ketiga yang mengaplikasikan konsep hari terbuka kepada pengunjung khususnya peminat karya-karya seni arca dan merupakan penjenamaan semula bagi program terdahulu yang dikenali sebagai International Marble Art Camp (IMAC).\nPada tahun ini, para pengarca dari serantau telah dijemput untuk mempamerkan bakat dalam penghasilan karya arca daripada batu pualam. Antaranya termasuklah Ella Wijt dari Indonesia, I Wayan Upadana (Indonesia), Korakot Sangnoy (Thailand), Jehabdulloh Jehsorhoh (Thailand), Lim Soo Ngee (Singapura), Ain Rahman (Malaysia), Japson Wong Vun Hueng (Malaysia), Bibi Chew (Malaysia) dan mereka dibantu oleh para artisan dari Langkawi.\nLAIN MACAM 2022 dianjurkan untuk memberi pendedahan dan peluang kepada para penduduk Langkawi dan pelancong dari dalam serta luar negara untuk melihat sendiri proses penghasilan arca daripada batu pualam. Yang menariknya, batu pualam yang digunakan dalam program ini berasal dari Pulau Langkawi.\nKeunikan geografi Langkawi dimanfaatkan sepenuhnya dalam bentuk penghasilan karya seni. Bagi memeriahkan acara pada hari tersebut, pelbagai aktiviti turut diadakan seperti demonstrasi pembuatan pakaian ikat celup oleh Mawart, demonstrasi cyanotype oleh Dikaki Sunprint Studio, permainan papan luncur oleh SB dan memanah oleh Wave Ways Archery.\nSelain itu, terdapat pelbagai pameran dan jualan produk seni dan kraf yang diadakan oleh Hikari Riders, Ilham Ceramic, Muay Universal Studio, Kansha Life, Natty Langkawi, Persatuan Artis Seni Visual Langkawi (LAVAA), I-Mangroove, Dayang Lilin, rareBaqhang, RYO, Embun-Embun, YBN, Pallets, Sorensen, LADA, Datai Valley Langkawi serta Dread Factories Langkawi. Manakala pelbagai makanan dan minuman pula dijual oleh Koffeemilia Langkawi, Mawart, Gelat E Ria, Lis Cakery, Soyaraya, Indiana Langkawi, iRiedog dan Kolma Langkawi pada sepanjang tempoh LAIN MACAM 2022 berlangsung.\nKemuncak LAIN MACAM 2022 ialah persembahan pentas yang dibarisi oleh Rabbaniyyin Maulid Ensemble, Laskar Seni, Kicau-Bilau, Acca an Anaz, DJ Alakazam, Hadi dan Bob, Langkawi Dub Club, Lamhkaron, Iqbal, Aru x Jahvalion, Shaheth dan Noh Salleh.\nSambutan yang diberikan sangat menggalakkan walaupun keadaan cuaca yang tidak menentu dan sesekali berlaku hujan lebat. Program ini turut mendapat sokongan penaja seperti Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Cuti-cuti Malaysia, Galeria Perdana dan Kompleks Kraf Langkawi selain mendapat kerjasama daripada Dikaki Tower House, Tentuhala Collective, Hikari Riders, Sembilan Langkawi dan The Kasbah." "Menikmati Pahit Manis Kopi di Pesta Kopi Pulau Pinang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGeorge Town \u2013 Acara yang cukup mendapat sambutan daripada penggemar kopi, Pesta Kopi Pulau Pinang telah diadakan selama dua hari, iaitu pada 10 dan 11 Disember 2022 bertempat di Hin Bus Depot, George Town, Pulau Pinang. Acara yang julung-julung kali diadakan di Pulau Mutiara ini merupakan anjuran bersama-sama Tempatan Fest dan Rasta Brew Co. dengan sokongan Hin Bus Depot sebagai lokasi rasmi serta Sekolah Kopi sebagai rakan strategik.\nPesta ini berjaya menarik penyertaan daripada 53 vendor tempatan dan antarabangsa, antaranya seperti Omerta Koffie, Brewlab, dan Le Tor Gold Coffee Farm. Di samping menikmati aroma pahit manis kopi yang memenuhi setiap ruang tapak pesta, para pengunjung turut dapat menikmati pelbagai produk kopi yang dijual oleh vendor. Malah pengunjung juga dapat melihat sendiri demonstrasi pelbagai cara penyediaan kopi, cara menyenduk dan memilih biji kopi serta bengkel memanggang biji kopi. Yang menariknya, pengunjung boleh menyediakan sendiri kopi masing-masing mengikut cita rasa masing-masing menggunakan mesin kopi dan bahan-bahan yang disediakan oleh vendor yang menyertai pesta ini.\nVendor seperti Brickin Cafe Bar, Sekolah Kopi, dan Barista Guild Asia telah mengadakan bengkel kopi, manakala demonstrasi penyediaan kopi dilakukan oleh Omerta Coffee. Pertandingan Aeropress pula menawarkan hadiah wang tunai RM1000 kepada seorang pemenang utama. Acara \u201cKopi dan Irama\u201d yang dipersembahkan oleh DJ Ranchak, Saiko-Rama, Jahvallion dan Aru Peruzza telah menggamatkan tapak pesta dengan persembahan yang menghiburkan para pengunjung selama dua hari pesta berlangsung.\nSelain bengkel dan demonstrasi, Pesta Kopi Pulau Pinang juga diselitkan dengan forum dan bual bicara berkaitan dengan kopi. Antara topik dan isu yang dikongsikan dengan para pengunjung ialah kerjaya sebagai barista, mewujudkan sekolah kopi, pembukaan kafe kopi dan rahsia menghasilkan kopi yang sedap menggunakan campuran susu terpilih.\nSebagai hiburan para pengunjung sebaik sahaja berlangsungnya pembukaan rasmi Pesta Kopi Pulau Pinang, persembahan boria yang menjadi ikon budaya Pulau Pinang telah dipersembahkan oleh Boria Omara. Perhimpunan para usahawan kopi selama dua hari dalam Pesta Kopi Pulau Pinang dilihat berjaya menarik minat para penggemar kopi serta menyemarakkan budaya komuniti kopi Malaysia. Turut bersama-sama memeriahkan acara Pesta Kopi Pulau Pinang ialah penyertaan beberapa pengusaha makanan jalanan yang turut menarik perhatian pengunjung.\nPesta Kopi Pulau Pinang terlaksana dengan jayanya melalui sokongan F&N Magnolia sebagai penaja utama dan juga pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang. Di samping itu, penganjuran pada kali ini juga turut mendapat sokongan daripada Tourism Malaysia sebagai sebahagian daripada acara Cuti-Cuti Malaysia." "Pertandingan Seni Lukis Warisan Usaha Tegas: Meraikan Warisan Budaya Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi Malaysia, artis kontemporari terkemuka, para pendidik, pakar warisan serta kuratorial telah berkumpul bagi menyaksikan majlis penyampaian hadiah Pertandingan Seni Lukis Warisan Usaha Tegas yang diadakan petang tadi bertempat di Hotel Element Kuala Lumpur.\nPertandingan Seni Warisan Usaha Tegas ini merupakan komponen yang telah lama dilaksanakan dalam program tanggungjawab sosial korporat Kumpulan Usaha Tegas dan diadakan pada setiap tahun bagi menjemput bakat-bakat muda daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta Malaysia untuk menghantar karya seni mereka merentasi lima kategori merangkumi lukisan minyak dan akrilik, media campuran, seni cetak serta lukisan arang, pensel, dakwat dan cat air mengikut tema yang telah ditetapkan berkaitan dengan warisan budaya.\nPertandingan edisi yang ke-20 ini dengan tema \u201cWarisan Budaya Malaysia Tidak Ketara\u201d telah berjaya menarik sebanyak 235 penyertaan daripada kalangan pelajar meliputi 30 institusi pengajian tinggi di seluruh negara.\n\u201cPertandingan Seni Warisan Usaha Tegas mula ditubuhkan pada tahun 2001 sejajar dengan kepercayaan organisasi kami terhadap peranan penting seni dan kepelbagaian warisan budaya kita sebagai masyarakat majmuk. Pertandingan ini telah menjadi platform tahunan yang diraikan untuk menggalakkan, mengiktiraf dan mempromosikan bakat artis-artis muda Malaysia yang bercita-cita tinggi selain mewujudkan repositori penting karya seni kontemporari yang mencerminkan warisan budaya Malaysia yang unik, kaya dan dinamik melalui kaca mata mereka,\u201d ujar Encik Shaharul Rezza Hassan, Pengarah UTSB Management Sdn. Bhd. sewaktu menyampaikan ucapan perasmian pada majlis penyampaian hadiah tersebut.\nBarisan panel hakim Pertandingan Seni Lukis Warisan Usaha Tegas pada tahun ini diketuai oleh seniman seni cetak, Encik Juhari Said; Ketua Seni Halus Institut Seni Malaysia, Cik Bibi Chew; ahli pemuliharaan bangunan warisan berpusat di Pulau Pinang, Ar. Parama Nathan dan kurator kanan Balai Seni Lukis Negara, Encik Syahrul Niza.\n\u201cDalam seni, perkara yang sangat penting ialah idea dan emosi. Itulah yang kami cari. Peserta yang menang pada tahun ini menunjukkan kefahaman tentang warisan tidak ketara dan tidak material bahawa warisan bukan tentang sesuatu yang anda boleh sentuh, rasa atau beli, sebaliknya sesuatu yang kita warisi daripada keluarga, sejarah dan boleh memajukan diri kita ke hadapan,\u201d kata Encik Juhari Said.\n\u201cRamai generasi muda tidak melihat kepentingan warisan dan mereka lebih cenderung kepada subkultur. Walau bagaimanapun, seseorang itu perlu berkembang dengan mengetahui latar belakang, akar dan didikan mereka. Masyarakat memainkan peranan penting melalui institusi pendidikan dalam mendedahkan generasi muda kepada warisan mereka dengan memberikan pengetahuan dan bimbingan. Justeru, kami berharap Pertandingan Seni Lukis Warisan Usaha Tegas menjadi satu-satunya pertandingan yang menitikberatkan tema ini dapat meneruskan usaha baik mereka bekerjasama dengan sektor pendidikan,\u201d tambah Cik Bibi Chew dalam ucapannya.\nMenurut Ar. Parama Nathan pula, seni adalah jiwa budaya dan tamadun kita yang tidak boleh dipisahkan. Namun pada masa kini, terdapat percanggahan antara seni dengan cara hidup masyarakat. Pertandingan seperti ini berupaya membantu mengembalikan nilai seni ke dalam kehidupan seharian dengan mewujudkan kesedaran tentang kepentingan seni yang pada masa dahulu merupakan sebahagian daripada gaya hidup tradisional masyarakat di Malaysia.\nEncik Syahrul Niza turut menyatakan bahawa pertandingan seni seperti yang dianjurkan oleh Usaha Tegas ini memainkan peranan penting dalam mencabar para pelajar seni Malaysia untuk mengasah kemahiran yang akan membantu mereka maju ke peringkat profesional. Dengan berbuat demikian, mereka juga memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan seni dalam Malaysia.\nPada tahun ini, hadiah tempat pertama dalam kategori Cat Minyak dan Akrilik dianugerahkan kepada karya bertajuk Dulang Opah oleh Nurain Fatini Abdul Jalil dari UITM; Alternative Performer oleh Lye Heng Jing dari Akademi ATEC (New School of Media Design) bagi kategori Media Campuran, Majlis Khatam Quran Nostalgia oleh Norfatihah Yusof dari Universiti Sains Malaysia bagi kategori Seni Cetakan, Penunggu oleh Wan Atiqa Ramli dari UiTM bagi kategori Lukisan Arang/Pensil/Dakwat serta Pusaka oleh Kua Wei Lun dari The One Academy KL bagi kategori Cat Air. Setiap pemenang menerima hadiah wang tunai berjumlah RM8000. Pemenang tempat kedua, ketiga dan sagu hati masing-masing menerima hadiah wang tunai RM3000, RM2000 dan RM500.\nPertandingan Seni Lukis Warisan Usaha Tegas yang dianjurkan pada setiap tahun sejak tahun 2001 kekal sebagai salah satu pertandingan yang paling lama di negara ini. Penyertaan pertandingan ini terbuka kepada para pelajar institusi pengajian tinggi demi memupuk dan menyelami warisan budaya Malaysia yang kaya. Pertandingan Seni Lukis Warisan Usaha Tegas pada tahun ini berjaya menerima sebanyak 235 penyertaan daripada 32 institusi, merangkumi lima kategori yang dipertandingkan.\nUntuk maklumat lanjut mengenai Pertandingan Seni Warisan Usaha Tegas, sila layari: www.instagram.com/utheritageartcompetition/ atau linktr.ee/utheritage." "Pantun Eratkan Hubungan Dua Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBaru-baru ini diadakan satu Seminar Lintas Negara: Bual Pantun secara dalam talian menerusi aplikasi zoom dan turut disiarkan secara langsung melalui Facebook. Seminar Pantun Riau-Temasek yang diadakan di Dewan Kesenian Riau-Superbroadcast Singapura-Budhi ini merupakan kerjasama antara dua negara, iaitu Indonesia dan Singapura.\nBeberapa karyawan dari Riau dan Singapura seperti Drs. Taufik Ikram Jamil M.Ikom, Monda Gianes DKR, Deni Ariadi, Dr. Azhar Ibrahim, dan Muhamad Shahril Samri membincangkan unsur kreatif dalam pantun.\nMenurut Ketua Umum Dewan Kesenian Riau, Taufik Hidayat yang juga dikenali sebagai Atan Lasak, seminar ini rangkaian daripada Pesta Pantun yang akan dilaksanakan pada akhir tahun 2021 di Singapura, yang turut bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara dua negara, iaitu Riau (Indonesia) dengan Temasek (Singapura). Sementara itu, Taufik Ikram Jamil dari Riau pula mengatakan bahawa pantun merupakan sastera lisan yang berada di dua kutub, iaitu berada pada lisan dan aksara serta telah ada sejak 1500 tahun yang lalu.\nAzhar dari Singapura pula berkata, pantun dalam masyarakat Melayu tradisional sangat\u00a0 terlestari dalam kehidupan seharian. Sehingga kini, pantun masih bertahan, diingati dan diminati oleh orang ramai. Lirik lagu Melayu juga sebahagian besarnya merupakan puisi atau pantun. Selain itu, dalam seminar itu turut diadakan sesi berbalas pantun dan berpantun dalam muzik." "Objektif dan Matlamat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nSaya kurang memahami maksud perkataan \u201cobjektif\u201c dan \u201cmatlamat\u201c.\u00a0 Bagi saya, kedua-dua perkataan itu membawa maksud yang sama.\u00a0 Walau bagaimanapun, ada pihak yang mengatakan bahawa kedua-dua perkataan tersebut membawa maksud yang berbeza.\u00a0 Apakah maksud sebenar \u201cobjektif\u201c dan \u201cmatlamat\u201c? Bagaimanakah cara penggunaannya dalam ayat?\n\u00a0\nDaripada:\nShah Rizal Faizal,\nKuala Kangsar, Perak." "Kem Kesenian Kanak-kanak Kebangsaan 2022 Memupuk Sahsiah dan Jati Diri Generasi Muda Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMelaka \u2013 Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan menganjurkan program Kem Kesenian Kanak-kanak Kebangsaan 2022 (Kem 4K) dari 19 hingga 24 Disember 2022, jam 8.30 pagi hingga 10.30 malam di Kompleks JKKN Melaka dan Amverton Heritage Resort Melaka, manakala Konsert Apresiasi Kanak-kanak Cemerlang pula akan diadakan pada 23 Disember 2022 dari jam 8.30 malam hingga 10.30 malam di Panggung Seri, Kompleks JKKN Ayer Keroh.\nJKKN dalam satu kenyataannya berkata, program itu merupakan salah satu teras utama JKKN, iaitu memperluaskan asuhan dan kemahiran seni budaya untuk pembangunan modal insan negara.\nMenurut kenyataan tersebut, hal itu adalah selaras dengan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 yang menetapkan hala tuju untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara Maju Rakyat Berbudaya bersandarkan kepada pendekatan budaya nilai tinggi.\nProgram Kem Kesenian Kanak-kanak Kebangsaan 2022 ini dijangka akan menghimpunkan seramai 280 orang peserta kanak-kanak dan remaja yang berumur daripada 10 tahun sehingga 17 tahun yang berbakat dan cemerlang dalam bidang seni menerusi Kelab Tunas Budaya (KTB) bagi golongan kanak-kanak sekolah rendah dan Kelab Giat Budaya (KGB) bagi golongan remaja sekolah menengah.\nSelain itu, program ini juga akan turut disertai Kumpulan Bimbingan Seni Cemerlang (KBSC) yang mengikuti bidang teater, tarian, muzik, permainan gasing, seni berbahasa dan silat yang telah dilaksanakan oleh JKKN seluruh negara dengan kerjasama jabatan pendidikan negeri (JPN).\nKem 4K untuk tahun 2022 ini juga akan memberi fokus kepada para pelajar dalam bidang seni tari, seni muzik, teater dan permainan gasing. Manakala bidang lain seperti silat dan seni berbahasa akan diperhalusi modulnya untuk tahun akan datang dengan konsep program ini berbentuk latihan, ceramah, aktiviti komuniti berbentuk lawatan budaya dan majlis apresiasi.\nPara pelajar cemerlang yang terpilih menyertai kem 4K selama empat hari itu akan dilatih dan dibimbing secara terus oleh penggiat seni dan industri kreatif seperti Profesor Madya Aminah Raphor dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Tuan Haji Lokman Ghani bagi bidang teater, Datin Sharifah Mahani (Mak Ngah) dan Encik Zulfaqar Awaludin (Belalang) bagi bidang tarian, Encik Bob Khalid (seni muzik gamelan) dan Encik Razaidy Abd Razak (seni muzik cak lempong), manakala seni permainan gasing pula akan dibimbing oleh Encik Muzaireen dan Encik Junaidi.\nDi samping itu, para pelajar turut diberi pendedahan tentang cara berbahasa dengan baik oleh selebriti pendidik yang terkenal, iaitu Cikgu Zack Kirana Ibrahim serta pendedahan tentang seni budaya negeri Melaka oleh Tokoh Penggerak Budaya Negeri Melaka, iaitu Cikgu Norliza Md. Yamin dan Encik Hairul Asraf yang juga merupakan aktivis dan penggiat Dondang Sayang negeri Melaka.\nRentetan itu, para pelajar turut akan mengikuti sesi lawatan budaya ke Kompleks Kraftangan Melaka, Muzium Sastera, Muzium Sejarah dan Etnografi, Galeri Laksamana Cheng Ho dan Muzium Samudera di bawah kelolaan Perbadanan Muzium Negeri Melaka (PERZIM), Galeri Warisan di bawah kelolaan Jabatan Warisan Negara (JWN) Wilayah Selatan serta Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan selain turut mengikuti sesi lawatan ke Bukit Melaka.\nMajlis penutup program, iaitu Konsert Apresiasi Kanak-kanak Cemerlang yang akan berlangsung pada 23 Disember 2022 akan menampilkan himpunan pelbagai persembahan daripada para peserta berdasarkan latihan intensif yang mereka jalani sepanjang menyertai kem tersebut.\nAntaranya termasuklah persembahan siri tarian gamelan \u201cTimang Burung\u201d dan \u201cAyak-ayak\u201d yang akan turut diiringi dengan paluan muzik gamelan dan cak lempong serta pelbagai lagi persembahan yang akan diserikan dengan kehadiran artis-artis terkenal tanah air.\nTuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Rustam dan Toh Puan Datuk Wira Hajah Asmah Abdul Rahman dijangka akan hadir bagi menyaksikan persembahan dan sesi pentauliahan sijil kem oleh Tuan Haji Mesran Mohd Yusop, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.\nJKKN berharap penganjuran Kem Kesenian Kanak-kanak Kebangsaan 2022 ini dapat memupuk sahsiah dan jati diri generasi muda Malaysia dalam menghayati sifat kebersamaan, tolerasi serta kefahaman seni dan budaya Malaysia." "Festival Kraf Johor 2022 Mempromosi Produk Kraf Berkualiti Tinggi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJohor Bahru \u2013 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Kraftangan Malaysia menganjurkan Festival Kraf Johor (FKJ) 2022 selama 11 hari bermula semalam hingga 26 Disember 2022 di Angsana Mall, Johor Bahru. Majlis perasmian FKJ 2022 yang berlangsung pada bahagian sebelah pagi disempurnakan oleh Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Hajah Saraya Arbi.\nMenurut Datuk Hajah Saraya, penganjuran festival pada kali ini dapat menjadi platform promosi fizikal terbaik kepada para pengunjung sama ada pelancong domestik atau pelancong antarabangsa bagi mendapatkan produk kraf yang berkualiti dan mempunyai nilai estetika yang tinggi.\nTambah beliau, usaha MOTAC dan Kraftangan Malaysia dalam melestarikan industri kraf membuahkan hasil apabila hingga 30 November 2022 yang lalu, prestasi nilai keseluruhan jualan kraf berjumlah RM258.5 juta, melebihi sasaran RM200 juta yang ditetapkan.\nJelas beliau lagi, lima bidang utama kraf yang meliputi tekstil, hasil rimba, hasil logam, hasil tanah dan aneka kraf menjadi penyumbang utama nilai jualan tersebut.\n\u201cPermintaan terhadap pelbagai produk kraf tempatan semakin mendapat sambutan apabila kerajaan memperuntukkan rebat baucar kepada para pengguna dan usahawan industri kraf,\u201d kata Datuk Hajah Saraya ketika berucap pada majlis perasmian tersebut.\nPada masa yang sama, beliau juga turut menyampaikan watikah pelantikan kepada tiga orang Adiguru Kraf baharu bagi tahun 2022, iaitu Adiguru Kraf Sulaman Keringkam, Salbiah Muhi dari Sarawak; Adiguru Kraf Sulaman Pis, Crisna Mojupi dari Sabah serta Adiguru Kraf Sulaman Linangkit, Emis @ Emmilianah Dahun juga dari Sabah.\n\u201cAdiguru kraf merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan ilmu, kemahiran dan kepakaran yang tinggi dalam bidang penciptaan serta pertukangan produk kraf tangan yang mempunyai identiti tempatan,\u201d ujar Datuk Hajah Saraya.\nBeliau juga menyatakan harapan agar FKJ 2022 ini dapat memberi manfaat yang menyeluruh kepada semua usahawan dan komuniti kraf tangan dalam membantu menjana pendapatan yang tinggi selain menjadi destinasi kunjungan utama bagi para pelancong domestik dan antarabangsa serta menjadi acara yang wajib dianjurkan dan dikunjungi oleh masyarakat setempat sempena musim cuti sekolah dan cuti perayaan.\nFKJ 2022 merupakan festival yang kesembilan dianjurkan sejak tahun 2019 dan merupakan \u201cMarquee Event\u201d yang dinanti-nantikan oleh semua pihak. Festival pada kali ini berjaya menghimpunkan seramai 217 orang usahawan kraf dari seluruh negara termasuklah pameran daripada agensi kerajaan dan swasta dengan menyasarkan nilai jualan sebanyak RM7.5 juta dengan menyasarkan kehadiran seramai 50 ribu orang pengunjung.\nFKJ 2022 mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik seperti jualan kraf, Pameran Khas \u201cIni Batik Malaysia\u201c, pameran dan jualan produk komuniti kraf, Pameran Institut Kraf Negara, Pameran Adiguru Kraf 2022, Pameran MYCRAFTSHOPPE, demonstrasi dan interaktif kraf batik Malaysia, Wacana Kraf \u201cIni Batik Malaysia\u201c, Cita Rasa Malaysia Ku, aktiviti galakan pengunjung dan khidmat iring.\nSeluruh rakyat Malaysia dijemput untuk berkunjung ke FKJ 2022 dan menikmati baucar bernilai RM30 dengan setiap gandaan RM100 pembelian produk kraf tempatan.\nMajlis perasmian FKJ 2022 juga boleh ditonton secara dalam talian menerusi https://www.youtube.com/watch?v=rdjDOFnM-hs." "The Wheel Estate Campsite Tarikan Baharu Pelancongan di Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPadang Besar \u2013 Perlis berpotensi untuk berkembang pesat pada peringkat yang lebih tinggi dan meluas dalam sektor pelancongan berasaskan keindahan alam semula jadi. Aktiviti dan program berbentuk promosi pelancongan yang kreatif dan mampu menarik perhatian ramai perlu dijalankan secara konsisten sepanjang masa bagi meningkatkan lagi usaha penambahbaikan prasarana sokongan.\nDemikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis, selepas berkenan berangkat meninjau satu lagi lokasi penginapan pelancongan menarik terbaharu di Perlis, iaitu The Wheel Estate Campsite, yang terletak di Lot 3862, Lorong 7(B) Belukar Lenga, Chuping. Lokasi tersebut mula beroperasi sempena program \u201cKayuhan MAIPs Peduli\u201d baru-baru ini.\nThe Wheel Estate Campsite yang terletak 13 kilometer dari sempadan Thailand melalui Padang Besar yang diusahakan oleh Jasmine Say dan H.B. Chew. Pusat penginapan ini mempunyai konsep yang menarik ala-ala tapak perkhemahan bertemakan angkasa lepas dan planet, dan merupakan yang pertama sedemikian rupa di negeri ini.\nTuanku Syed Faizuddin Putra turut menyarankan agar perkembangan dan kepesatan arus teknologi perlu dimanfaatkan sebaiknya melalui pelbagai kaedah, seperti mewujudkan portal, laman web, media sosial dalam pelbagai jenis medium aplikasi, jalinan hubungan kerjasama dengan Key Opinion Leaders (KOL) serta sokongan pempengaruh media sosial bagi menarik minat pelancong untuk berkunjung ke Perlis, sekali gus dalam merancakkan sektor pembangunan pelancongan di negeri ini.\n\u201cSyarikat dan individu dalam sektor swasta amat penting untuk membentuk kerjasama rentas sempadan antara negeri dan negara bagi mewujudkan pelbagai pakej pelancongan yang berimpak dan memberangsangkan,\u201d tambah Tuanku Raja Muda.\nThe Wheel Estate Campsite menawarkan pelbagai jenis penginapan, antaranya termasuklah 6 Metre Dome Tents, 4 Metre Dome Tents, Diamond Wooden Tents, \u2018A\u2019 Wooden Houses, tapak untuk sewaan campervans dan juga tapak perkhemahan. Pusat penginapan ini turut menawarkan pelbagai aktiviti, seperti memanah, memancing, berbasikal dan golf, dengan caj yang berpatutan. Manakala aktiviti trampolin, foosball, dat dan mini biliard adalah percuma dalam tempoh permulaan pembukaan ini." "PENTAS Cungkil Bakat Kanak-kanak dalam Seni Persembahan Teater\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAlor Setar \u2013 Sebanyak 22 orang peserta yang terdiri daripada kanak-kanak, berusia antara enam hingga 14 tahun telah menyertai Bengkel Teater Kanak-kanak yang diadakan di Auditorium Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah (PPANK), Jalan Kolam Air, Alor Setar, Kedah.\nBengkel anjuran Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS) dengan kerjasama PPANK adalah bertujuan untuk mendedahkan kepada para peserta perihal teater kanak-kanak. Bengkel tersebut diadakan bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 4.00 petang.\nSetiausaha PENTAS, iaitu Mohd Zulkamal Ismail mengatakan bahawa pihaknya mengalu-alukan penyertaan daripada golongan kanak-kanak dan remaja untuk menyertai bengkel ini yang secara tidak langsung dapat memberikan ilmu pengetahuan berkaitan dengan teater kepada mereka.\nBagi kanak-kanak atau remaja yang berminat untuk menyertai seni teater, mereka seharusnya mendalami asas ilmu teater terlebih dahulu agar mereka dapat memahami dan mengetahui tentang teater kanak-kanak.\nPENTAS sebagai persatuan yang menggerakkan seni teater ini sangat memerlukan pelapis yang mempamerkan keberanian dan mempunyai keyakinan terhadap apa-apa yang mereka persembahkan. Hal ini penting kerana setiap persembahan yang diusahakan oleh PENTAS merupakan sebuah program terbaik yang bertujuan untuk mengetengahkan bakat baharu yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja.\nPada akhir bengkel ini, para perserta diberikan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Ketua Sektor Bahagian Perkhidmatan dan Maklumat PPANK, iaitu Puan Nur Shahila Hashim." "Konsert Apresiasi Kanak-kanak Cemerlang Serlah Potensi Pelapis Penggiat Seni\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAyer Keroh \u2013 Kem Kesenian Kanak-kanak Kebangsaan 2022 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) tiba di kemuncaknya apabila sebanyak 233 orang pesertanya dari 14 buah negeri di seluruh Malaysia mengadakan persembahan khas pada Konsert Apresiasi Kanak-kanak Cemerlang yang diadakan di Auditorium Panggung Seri, Kompleks JKKN Melaka. Kem kesenian ini mengumpulkan kanak-kanak serta remaja cemerlang yang berusia daripada 10 tahun hingga 17 tahun dalam bidang tari, teater, muzik dan gasing.\nUntuk catatan, kem ini bermula pada 19 Disember 2022 dan akan berakhir pada 24 Disember 2022. Antara objektif kem kesenian ini termasuklah memberikan pendedahan kepada para peserta dalam bidang seni yang diceburi, melahirkan pelapis dalam bidang seni budaya, meneroka peluang kerjaya masa hadapan dan memulihara seni budaya negara.\nSelepas menjalani latihan selama beberapa hari, para peserta akhirnya berpeluang menunjukkan kebolehan masing-masing menerusi Konsert Apresiasi Kanak-kanak Cemerlang pada malam ini. Pelbagai jenis persembahan yang ditampilkan seperti tarian gamelan timang burung, joget dan muzik cak lempong. Para peserta juga membuat persembahan deklamasi puisi, teater fizikal dan dekon (deklamasi lakon). Antara kelainan yang ditampilkan pada konsert ini termasuklah demonstrasi permainan gasing yang diberikan nafas baharu dengan konsep \u201cgasing jalanan\u201c (street gasing).\nKemeriahan malam kemuncak diserikan lagi dengan kehadiran beberapa orang figura daripada industri muzik tanah air seperti Naim Daniel, Tuah Adzmi dan Nur Dalilah Husna (Juara Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2022).\nTurut hadir, para tetamu kehormat, iaitu Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam dan pasangannya, Toh Puan Datuk Wira Dr. Hajah Asmah Ab Rahman; Timbalan Ketua Pengarah Kebudayaan dan Kesenian JKKN, Encik Rosnan Nordin mewakili Ketua Pengarah JKKN; Timbalan Setiausaha Kerajaan Pembangunan Melaka, Encik Badaruddin Mohd Kassim mewakil Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka dan Pengarah JKKN Melaka, Cik Ezlina Alias.\nMajlis diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada wakil peserta dari setiap negeri oleh Encik Rosnan Nordin diikuti dengan penyampaian hadiah kepada peserta terbaik bagi setiap bidang dan kumpulan pemenang Liga Gasing oleh Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam.\nSenarai penerima Anugerah Peserta Terbaik Kem Kesenian Kanak-kanak Kebangsaan 2022\nSenarai penerima hadiah Liga Gasing Kem Kesenian Kanak-kanak Kebangsaan 2022\nJuara: Kumpulan King Cobra\nNaib Juara: Kumpulan Penyu Malam\nTempat Ketiga: Kumpulan Harimau Berantai" "Pesta Regatta Lepa: Simbolik Perayaan Masyarakat Bajau\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTong Talun adalah nama asal bagi daerah Semporna yang bererti hujung hutan dalam istilah suku kaum Bajau. Orang yang bertanggungjawab menamakan Tong Talun ialah Panglima Udang, Panglima Sallenghani dan Panglima Sakti dari keturunan Bajau Kubang. Hal ini disebabkan pada masa itu, daerah Semporna diliputi atau diselubungi oleh hutan belantara pada awal penemuannya.\nKemudian Tong Talun telah ditukar nama sebagai Semporna yang membawa pengertian tempat yang aman atau damai hinggalah sekarang. Pada masa dahulu, daerah Semporna berada di bawah jajahan takluk Kesultanan Sulu. Jajahan takluknya meliputi sebahagian Filipina (sebelah selatan) dan Borneo Utara. Pada tahun 1876, kawasan yang dikenali dengan nama Borneo Utara telah diperintah oleh syarikat dari British, iaitu North Borneo Chartered Company (NBCC) yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan British. Sejak itu, Sultan Sulu telah menyerahkan Sabah untuk selama-lamanya dan berkekalan kepada NBCC sebagai wilayah kuasa urus tadbir mereka.\nUmum mengetahui bahawa daerah Semporna merupakan antara daerah yang terkenal dengan industri pelancongan di negeri Sabah. Satu daripada tarikan yang terdapat dalam daerah tersebut merupakan pesta air atau lebih dikenali sebagai pesta Regatta Lepa dalam kalangan masyarakatnya.\nPesta Regatta Lepa merupakan salah satu pesta tradisional bagi suku kaum Bajau di Semporna, Sabah. Pesta Regatta Lepa umpama perayaan tahunan bagi masyarakat Bajau di daerah Semporna sejak tahun 1994. Perkataan \u201cLepa\u201d bermaksud bot atau perahu yang digunakan oleh suku kaum Bajau dalam kehidupan seharian.\nOleh hal yang demikian, Regatta Lepa ialah festival perahu tahunan yang diadakan pada setiap tahun dalam bulan April yang bertujuan untuk memperkenalkan dan mempromosikan adat, kesenian dan kebudayaan suku kaum Bajau di daerah Semporna. Lazimnya, \u201cSambulayang\u201d yang merupakan bendera atau panji akan dipasang di sepanjang jalan raya dan perahu bagi menandakan ketibaan sambutan festival Regatta Lepa.\nSecara umumnya, perayaan ini akan berlangsung selama tiga hari dan terbahagi kepada dua acara, iaitu acara darat dan acara laut. Acara darat kebiasaannya melibatkan acara pemilihan ratu lepa, karnival, pelbagai reruai jualan serta pameran seni dan budaya, manakala acara laut pula melibatkan perarakan perahu lepa yang penuh dengan pelbagai hiasan.\nAcara perarakan perahu lepa diadakan bagi memilih lepa yang dihias paling cantik. Pemenang akan berpeluang membawa pulang hadiah berupa wang tunai, bot laju, alat ganti bot, trofi dan sijil. Kebiasaannya, pemenang dipilih berdasarkan hiasan \u201csambulayang\u201d, persembahan tarian igal-igal yang diiringi dengan alunan muzik tradisional seperti gong, kulintangan dan tambul yang merupakan alat muzik tradisional turun-temurun kaum Bajau.\nAcara pertandingan pemilihan ratu lepa pula kebiasaannya dilakukan sebelum pesta tersebut bermula dan hanya 10 orang calon yang layak akan mengikuti pertandingan tersebut. Calon mestilah berasal daripada suku kaum Bajau dan mempunyai kelengkapan baju tradisional masyarakat Bajau, iaitu baju igal-igal yang terdiri daripada baju Ala Bimbang.\nDi samping itu, calon akan dinilai berdasarkan keaslian \u201ckeigalan\u201d, iaitu lenggok badan penari yang lemah-gemalai serta perlu mengetahui pelbagai titik tarian igal-igal seperti titik tarirai, titik limbayan, titik tabawan dan sebagainya. Selain itu, calon juga mestilah mempunyai personaliti yang menarik dan tahap komunikasi yang baik. Hal ini dikatakan demikian kerana calon yang dipilih akan menjadi model promosi dan pemasaran bagi memperkenalkan keunikan masyarakat Bajau di daerah Semporna. Tambahan lagi, calon yang terpilih akan mengikuti pelbagai latihan secara berterusan sebelum malam kemuncak lepa.\nBagi aspek pakaian pula, calon wajib mengetahui nama setiap pakaian dan perhiasan dalam pakaian tersebut. Pakaian tradisional masyarakat Bajau kebiasaannya dilengkapi dengan gandi (mahkota), janggai atau salung (sarung kuku), kambot (tali pinggang) dan sebagainya. Pakaian tradisional bagi perempuan kebiasaannya diperbuat daripada kain baldu yang dihiasi dengan manik dan dibentuk dengan pelbagai corak dan hiasan yang lain.\nTerdapat empat warna asli yang selalu digunakan untuk membuat pakaian tradisional masyarakat Bajau seperti warna emas, hitam, hijau dan biru. Jelaslah bahawa festival ini membolehkan para pelancong dari luar mahupun dalam negara dapat melihat keunikan dan perincian baju tradisional masyarakat Bajau.\nSelain daripada festival Regatta Lepa, pakaian tradisional masyarakat Bajau turut digunakan dalam majlis perkahwinan dan majlis keramaian. Hal ini dikatakan demikian kerana raja sehari akan menggayakan pakaian ini di samping mempersembahkan tarian igal-igal sebagai sembah tamu kepada para tetamu yang hadir ke majlis tersebut.\nYang uniknya, raja sehari akan \u201cdisabot\u201d atau tetamu akan menyelitkan duit pada jari pengantin. Aktiviti \u201csabot\u201d merupakan satu kewajipan bagi masyarakat Bajau. Individu yang datang dan mempersembahkan tarian igal-igal juga akan menerima sabot tidak kira daripada pihak keluarga pengantin mahupun tetamu yang hadir memeriahkan majlis tersebut sebagai tanda terima kasih.\nNamun begitu, pemakaian gandi tidak wujud sama sekali pada awalnya. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat Bajau pada zaman dahulu hanya memakai lilitan sarung di atas kepala. Majoriti cara berpakaian masyarakat Bajau pada zaman ini telah diubah suai dan dimodenkan mengikut peredaran zaman. Oleh hal yang demikian, calon yang mengikuti festival tersebut juga akan dinilai berdasarkan keaslian baju igal-igal. Hal ini bagi memastikan keaslian baju tradisi masyarakat Bajau masih dapat dikekalkan sekali gus dapat dipamerkan pada generasi yang akan datang.\nKesimpulannya, masyarakat Bajau di Semporna kaya dengan pelbagai perayaan, adat dan budaya yang masih diamalkan oleh semua kaum. Keunikan yang terdapat pada pesta Regatta Lepa juga mampu menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara. Oleh hal yang demikian, masyarakat seharusnya memelihara adat dan tradisi sesebuah kaum agar tidak hilang ditelan arus zaman.\nSemua budaya yang terdapat dalam masyarakat Malaysia sama ada dari segi kesenian, muzik, adat resam, kepercayaan, bahasa dan sebagainya haruslah dikekalkan selagi tidak bercanggah dengan kepercayaan agama untuk tatapan generasi yang akan datang. Hal ini bagi memastikan mereka dapat mengetahui dan mempelajari budaya yang telah diamalkan oleh nenek moyang mereka. Tuntasnya, peranan dan kerjasama semua pihak amat diperlukan agar segala usaha yang dilakukan dapat membuahkan hasil yang bermanfaat dan berguna untuk pembangunan diri, masyarakat dan keluarga." "Generasi Muda Melestarikan Teras Seni dan Budaya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAyer Keroh \u2013 \u201cKanak-kanak ialah penerus legasi. Jika kita tidak mengembangkan minat dalam kalangan kanak-kanak, mereka akan menjadi orang dewasa yang tidak terdedah pada seni budaya mereka sendiri dan akan cenderung pada budaya lain seperti \u2018gadget\u2019 dan sebagainya. Seni budaya kita terpinggir kerana kita tidak memberikan jiwa seni sejak dari peringkat akar umbi. Akar umbi ini pula tidak terhad pada golongan orang Melayu sahaja, bahkan golongan Cina, India, Iban dan lain-lain.\u201d\nBegitulah yang dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pengarah, Kebudayaan dan Kesenian, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Encik Rosnan Nordin apabila ditanya tentang sebab kanak-kanak menjadi tunjang bagi Kem Kesenian Kanak-kanak Kebangsaan 2022 yang sedang berlangsung kini di Kompleks JKKN Melaka.\nKem kesenian pada kali ini memberikan fokus kepada empat cabang seni, iaitu tari, muzik, teater dan permainan tradisional gasing. Sepanjang kem berlangsung, para peserta menjalani pelbagai jenis kelas latihan. Antaranya termasuklah kelas latihan tarian rakyat; kelas muzik gamelan dan cak lempong; kelas teater dan liga gasing. Para peserta juga diberikan motivasi dan panduan yang berkaitan dengan bidang seni melalui sesi perkongsian bersama-sama beberapa selebriti pendidik seperti Cikgu Zack Kirana dan Cikgu Norliza Md. Yamin.\nKem tersebut mengumpulkan 233 orang kanak-kanak dan remaja yang berusia daripada 10 tahun hingga 17 tahun melalui Kelab Tunas Budaya dan Giat Budaya dari seluruh Malaysia. Kem Kesenian Kanak-kanak 2022 yang dianjurkan oleh JKKN buat julung-julung kali ini telah membuka tirainya pada 19 Disember 2022 dan akan berakhir pada 24 Disember 2022.\nHarapan kami ialah agar para peserta dapat menggunakan ilmu yang diterima sepanjang kem ini untuk dijadikan sebagai panduan pembentukan diri dan sahsiah kerana seni budaya ini penuh dengan nilai-nilainya tersendiri. Diharapkan mereka boleh menjadi kesinambungan kepada warisan negara kita.\nSementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Bimbingan Seni Budaya JKKN, Encik Mohammad Husri Morni berkata para peserta menunjukkan keterujaan dan memberikan maklum balas yang sangat positif sepanjang kem berlangsung.\n\u201cPara peserta kelihatan begitu bersemangat sekali. Sebenarnya, terdapat peserta daripada negeri Kelantan dan Terengganu yang terkandas akibat banjir di sana. Walau bagaimanapun, berbekalkan harapan dan tekad, mereka berjaya menyertai kem ini pada hari kedua selepas banjir reda di kawasan mereka,\u201c ujar beliau.\nMenurut beliau lagi, para peserta yang terpilih bagi kem ini merupakan pelajar yang cemerlang dan sememangnya telah mempunyai kemahiran asas. Mereka sering melibatkan diri dalam program kesenian pada peringkat sekolah. Latihan yang diterima daripada tenaga pengajar yang hebat adalah untuk mengembangkan pengetahuan di samping memantapkan kemahiran asas mereka.\nQabella Hurul Aini Muhammad Fakharuddin atau lebih mesra dipanggil Bella, 14 tahun, peserta kem bagi bidang tarian menyatakan kegirangannya kerana dapat menyertai Kem Kesenian Kanak-kanak 2022 ini. Tambahnya, kem tersebut memberikan peluang kepadanya untuk mempelajari perkara baharu dan lebih terperinci terutamanya dalam tarian istana. Manakala, tiga orang lagi peserta, iaitu Muhammad Saifullah Azahari Mohamad Ridzuan (gasing), Muhammad Alif Mukhriz Rosli (bidang muzik) dan Ratna Ashikin Atajudin (bidang teater), masing-masing menyatakan kegembiraan mereka kerana dapat berkenalan dengan rakan baharu dan berharap untuk menyertai kem seperti ini lagi pada masa akan datang.\nKem Kesenian Kanak-kanak Kebangsaan 2022 akan menemui kemuncaknya pada malam ini dengan Konsert Apresiasi yang akan menampilkan persembahan khas daripada para peserta. Para peserta akan memperlihat kemahiran dan teknik yang telah mereka pelajari sepanjang kem ini berlangsung. Konsert Apresiasi ini akan dihadiri oleh Yang di-Pertua negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Pengarah JKKN, Tuan Haji Mesran Mohd Yusop." "Orang Asli di Persada Antarabangsa: Melakar Sejarah di Bumi Bukit Kepong\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMuar \u2013 Program \u201cOrang Asli di Persada Antarabangsa\u201d buat julung-julung kalinya diadakan sebagai salah satu tugasan para pelajar jurusan Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Pagoh bagi subjek BMCO 2104 Perhubungan Antarabangsa. Program yang dianjurkan pada 22 Disember 2022 di Kampung Orang Asli Bukit Panjang, Bukit Kepong, Muar, Johor ini merupakan salah satu bentuk kolaborasi bagi subjek tersebut bersama-sama subjek SCSH 2163 Usrah in Action Seksyen 511 dan 513 (Tirkah Rimba & Play to Read Love to Read). Selain itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Johor turut bekerjasama dalam menjayakan program ini.\nTerdapat pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini berlangsung. Antaranya termasuklah Pameran Orang Asli di luar negara, pertandingan Sumpit dan Kercang, pertandingan mewarna dan banyak lagi. Yang menariknya, pameran Orang Asli di luar negara memaparkan pelbagai budaya dan warisan yang unik bagi suku Aborigin di Australia, Papua di Indonesia, Lumad, Igorot dan Mangyan di Filipina, Asaro di Papua New Guinea, Inuit dan Metis di Kanada serta suku Maori di New Zealand.\nObjektif yang disasarkan sepanjang program ini adalah supaya para pelajar dan pengunjung dapat menghayati sejarah dan budaya Orang Asli di seluruh persada antarabangsa. Hal ini merupakan salah satu usaha untuk menjalinkan hubungan bersama-sama masyarakat terutamanya antara pelajar dengan Orang Asli. Pengalaman yang telah ditimba oleh para pelajar yang menyertai program ini merupakan suatu pendedahan yang amat besar pengertiannya bagi membentuk mereka menjadi individu yang dewasa dan matang dari segi pemikiran, penampilan dan keperibadian.\nMajlis perasmian penutupan disempurnakan oleh Timbalan Pengarah JAKOA Negeri Johor, Puan Nor Azlen Hashim dengan diiringi oleh Puan Noraini Ali, Pegawai JAKOA Daerah Tangkak/Muar, Dr. Mohamad Suhaizi Suhaimi, Penasihat Program dan Dr. Samshul Amry Abdul Latif, Timbalan Dekan Pascasiswazah dan Penyelidikan Bertanggungjawab, UIAM Pagoh.\n\u201cPameran yang dianjurkan ini membuka mata para pengunjung bahawa Orang Asli bukan sahaja berada di Malaysia, namun turut berkembang di luar negara dengan adat dan budaya masing-masing yang unik,\u201d ujar Puan Nor Azlen Hashim semasa menyampaikan ucapan perasmian bagi program ini.\nPara pelajar selaku komiti jawatankuasa turut menunjukkan komitmen yang padu dalam menjayakan program ini berikutan acara ini mampu mendedahkan kepada mereka tentang budaya Orang Asli yang perlu dimartabatkan agar tidak pupus ditelan arus zaman.\nAcara tamat pada jam 12.30 tengah hari dengan penyampaian hadiah bagi pelbagai kategori yang dipertandingkan. Diharapkan agar usaha murni seperti ini dapat diteruskan di samping menjamin kemandirian warisan Orang Asli agar terus terpelihara bagi generasi akan datang." "Langkawi dari Sudut Sejarah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2013 Pada tanggal 22 Disember 2022 telah diadakan bicara Pengkisahan Sejarah Langkawi di Auditorium Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Langkawi, Kedah. Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan penghargaan oleh Pengurus Bahagian Pelancongan LADA, Dr. Azmil Munif Mohd Bukhari.\nDalam ucapan tersebut, beliau menyatakan tentang kepentingan penduduk Langkawi mempelajari dan mengetahui sejarah sendiri dan begitu juga kepada para penggiat industri pelancongan di Langkawi, terutamanya para pemandu pelancong yang boleh menyampaikan dan menyebarkan maklumat berkaitan sejarah Langkawi secara holistik kepada para pelancong sama ada dari dalam atau luar negara.\nDalam ucapan Dr. Ibrahim Bakar selaku Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), beliau memulakan bicara menerusi pengkisahan bertajuk Kronologi Sejarah Langkawi. Menurut beliau, sejarah Langkawi sudah semestinya tidak dapat dipisahkan dengan sejarah negeri Kedah. Oleh hal yang demikian, teks Hikayat Merong Mahawangsa dan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah perlu dijadikan antara bahan rujukan utama. Secara sepintas lalu, beliau turut membawa para hadirin menelusuri sejarah Langkawi sejak era praIslam, zaman pemerintahan kerajaan Islam hinggalah abad ke-20 berdasarkan pembuktian mengikut catatan rekod sejarah, penemuan artifak serta mata wang.\nPengarang Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali pula menyampaikan bicara bertajuk Tokoh Pahlawan Hebat Langkawi. Tajuk tersebut membuka ruang untuk beliau mengetengahkan tokoh pahlawan penting dari Langkawi sewaktu meletusnya Perang Musuh Bisik yang berlangsung pada tahun 1821 hingga tahun 1876, iaitu Wan Muhammad Ali.\nWan Muhammad Ali dengan gelaran Datuk Kerma Jaya merupakan Laksamana Angkatan Tentera Laut Kedah dan telah berperang dengan hebat menentang Siam dan Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI). Profesor Emeritus Datuk Dr. Abdullah turut menyatakan hasrat dan impiannya agar sebuah muzium berkaitan sejarah Langkawi dapat dibina bagi memberikan kemudahan kepada para pelancong untuk mengetahui, mengikuti dan memahami sejarah awal pulau pelancongan tersebut.\nSeterusnya, Naib Presiden Kesatuan Antarabangsa Sains Prasejarah dan Protosejarah untuk Asia Tenggara, Profesor Dato\u2019 Dr. Mohd Mokhtar Saidin membawa para hadirin menelusuri sejarah awal Langkawi, iaitu sejak era prasejarah. Beliau membicarakan tajuk Geologi Langkawi dengan mengemukakan bukti-bukti penemuan fosil dan bentuk batuan yang ada di Langkawi berdasarkan era-era tertentu. Kajiannya amat menyeluruh dan turut memfokuskan kepada beberapa lokasi tumpuan di Langkawi seperti Gua Cherita, Pulau Anak Tikus, Gunung Machinchang dan Bukit Tanjung Mali sejak era tahun 1980-an yang semuanya kini merupakan geotapak Langkawi UNESCO Global Geopark.\nDi samping itu, ahli Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Encik Muhammad Izzat Md Isa turut membicarakan topik yang bertajuk Jikey \u2013 Kesenian Termasyhur di Langkawi. Jikey merupakan teater tradisional Melayu yang wujud dan berkembang di sekitar wilayah selatan Thailand dan wilayah utara Malaysia. Encik Muhammad Izzat menyatakan kepada para hadirin bahawa negeri-negeri Melayu tidak hanya terbatas hingga Perlis, sebaliknya hingga ke Ranong, yakni di perbatasan Segenting Kra.\nDi Langkawi, jikey dikesan telah wujud sebelum Perang Dunia Kedua lagi dan mendapat sambutan hangat pada sekitar tahun 1960-an. Hal ini dibuktikan dengan kewujudan banyak kumpulan jikey pada masa itu. Kini, seni persembahan jikey masih diperjuangkan lagi kelangsungannya.\nSeramai 210 orang hadir bagi mengikuti majlis ini yang terdiri daripada golongan pentadbir, penjawat awam, peminat sejarah, pemain industri pelancongan dan pelajar. Para hadirin turut dihiburkan dengan persembahan muzik dan nyanyian lagu-lagu tradisional oleh kumpulan Keluarga Angkatan Budi Seni (KABUS) dari Kota Mahsuri pada setiap sesi acara bicara. Majlis ini merupakan sebahagian daripada Program Geopark Bicara Ilmu dan dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi dan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK)." "Thali dalam Budaya Masyarakat India\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerkahwinan\u00a0bermaksud hubungan yang terikat antara seorang lelaki (suami) dengan seorang perempuan (isteri) yang diiktiraf oleh pihak berkuasa (sivil) atau diikat oleh kepercayaan agama bagi pasangan tersebut. Kita mengetahui bahawa setiap lapisan masyarakat mengamalkan upacara perkahwinan dalam kehidupan mereka berdasarkan kepercayaan anutan agama masing-masing.\nDalam kepercayaan agama Hindu, perkahwinan secara tradisi merupakan satu kedudukan monogami (suami berkahwin satu isteri). Upacara penting dalam perkahwinan kaum India adalah apabila pengantin lelaki mengikat thali pada leher pengantin perempuan. Upacara tersebut menandakan kedua-dua mereka telah berkahwin secara sah serta melayakkan mereka untuk digelar sebagai pasangan suami-isteri.\nPada zaman Sangam (tempoh sejarah\u00a0purba Tamil Nadu, Kerala dan bahagian Sri Lanka yang pada masa itu dikenali sebagai Tamilagam yang merangkumi abad ke-6 Sebelum Masihi hingga abad ke-3 Masihi), thali dirujuk sebagai \u201cPuthunaan\u201d. Thali juga dipanggil sebagai taali,\u00a0mangala sutra atau mangalyam oleh masyarakat India yang berbilang etnik.\nSecara tradisi, thali merupakan seutas tali yang disalut dengan kunyit yang diikat pada leher pengantin perempuan oleh pengantin lelaki dalam upacara perkahwinan. Warna kuning daripada kunyit yang disapukan pada thali tersebut melambangkan tanda kesucian.\nThali memainkan peranan sebagai simbol identiti bagi seorang wanita. Dalam kalangan masyarakat India, satu daripada cara untuk memastikan seorang wanita itu sudah bersuami atau masih bujang adalah dengan melihat dahi, leher atau kakinya. Tanda seorang wanita itu sudah berkahwin jika dia memakai thali, minji (cincin kaki yang disarungkan pada jari kaki (jari kedua pada kedua-dua kaki) dan meletakkan bindi merah pada dahi.\nMeneliti asal usul nama thali, pada zaman dahulu, pengantin lelaki pernah mengikat benda yang sama yang diperbuat daripada daun palma yang dikenali sebagai \u201cTaalam Panai\u201d (Panai bermaksud daun palma) pada leher pengantin perempuan. Oleh sebab thali yang diperbuat daripada daun palma mudah putus dan rosak, maka thali logam digunakan untuk menggantikan taalam panai kerana lebih tahan.\nSeterusnya, potraali, iaitu thali yang diperbuat daripada emas turut dihasilkan. Identiti sebenar thali bukan terletak sepenuhnya pada penghasilannya daripada emas, sebaliknya pada kunyit hidup yang diikat dengan tali juga merupakan thali.\nPada masa kini, kebanyakan wanita berbangsa India cenderung menggunakan rantai emas untuk menggantikan\u00a0identiti thali. Loket yang dipakai pada\u00a0thali\u00a0juga berbeza mengikut\u00a0keturunan masyarakat India, Malayali, dan Telugu. Di samping itu, thali juga berbeza berdasarkan kepercayaan agama. Golongan yang beragama\u00a0Hindu\u00a0menggunakan\u00a0thali\u00a0yang berbeza dengan golongan yang beragama Kristian.\nSelain itu, terdapat juga thali yang diukir berdasarkan generasi secara turun-temurun. Berdasarkan adat dan tradisi penganut Hindu, kebiasaannya anak lelaki akan meminta tukang emas untuk menyediakan\u00a0thali\u00a0yang serupa seperti yang digunakan oleh ibunya untuk dipakai oleh bakal isterinya.\nThali\u00a0akan ditempah dalam tempoh tiga atau lima hari sebelum majlis perkahwinan berlangsung dan hanya wanita yang telah berkahwin sahaja boleh pergi ke kedai emas untuk mengambil thali yang telah siap dihasilkan serta membawanya pulang ke rumah pengantin lelaki. Thali tersebut akan diberkati oleh Tuhan sebelum dibawa ke lokasi majlis perkahwinan berlangsung.\nMenurut kitab Shastra, pengantin lelaki akan mengikat thali pada leher pengantin perempuan sebagai tanda agar semua orang mengetahui bahawa anak lelaki pasangan tertentu dan anak perempuan pasangan tertentu akan berkahwin pada hari dan masa tertentu di hadapan khalayak dengan persetujuan dan restu orang tertentu. Dalam tradisi perkahwinan agama Hindu, sari perkahwinan pengantin perempuan akan diberikan oleh pihak pengantin lelaki semasa majlis tersebut berlangsung.\nPada sesi subamukurtha pada hari perkahwinan, pengantin perempuan dengan memakai sari koorai (sari sutera tradisional Kanchipuram yang berwarna merah dengan hiasan benang emas dan manik yang cantik) akan duduk di sebelah kanan pengantin lelaki. Selepas selesai semua adat sebelum perkahwinan, pengantin lelaki akan bangun menuju ke sebelah kanan pengantin perempuan dan akan berdiri menghadap utara dengan memegang thali yang direstui oleh orang tua.\nSeterusnya, mantera m\u0101\u1e45kalyam tantun\u0101n\u0113 namaj\u012bva\u1e49a h\u0113tun\u0101 ka\u1e47\u1e6d\u0113 patt\u0101mi supuk\u0113 ca\u00f1jivacaratacam akan dibaca oleh sami dengan lantunan kettimelam serta taburan bunga sebagai tanda restu oleh para hadirin. Kemudian pengantin lelaki akan berpusing dan berdiri ke arah barat serta mengikat thali pada leher pengantin perempuan.\nSelagi suaminya masih hidup, maka isteri itu hendaklah sentiasa memakai thali. Oleh sebab itu, thali dianggap sebagai satu daripada ikon budaya masyarakat India. Thali juga mempunyai signifikannya yang tersendiri. Thali yang dipakai dan terletak pada dada akan bersentuhan dengan jantung secara tidak bersemuka. Keadaan tersebut secara tidak langsung berfungsi seperti akupunktur dalam perubatan Cina.\nSehubungan dengan itu, thali bukan sahaja menjadi identiti bagi seorang wanita yang sudah berkahwin dalam masyarakat India, bahkan thali juga menjadi lambang kekuatan bagi wanita tersebut. Ikon budaya seperti thali tidak muncul tanpa sebab. Oleh hal yang demikian, budaya memakai thali perlu dilestarikan agar diketahui oleh generasi baharu dan tidak lenyap ditelan arus perubahan zaman yang semakin moden." "Mengayakan Bahasa Melayu dengan Meraikan Dialek\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJOHOR \u2212 Malaysia sememangnya terkenal dengan kepelbagaian budaya, sejarah dan masyarakat yang berbilang kaum. Selain kaya dari segi etnik, budaya, makanan dan tempat menarik, Malaysia turut dikenali dengan bahasanya. Loghat ataupun dialek pula merupakan satu warisan bahasa bagi sesuatu tempat.\nDialek Johor misalnya memang unik. Jika anda bukan orang Johor, mungkin anda akan berkata bahawa orang Johor menggunakan bahasa Melayu yang sebenar. Tiada loghat seperti negeri Kelantan, Kedah, Penang, Perak dan sebagainya. Namun begitu, jika anda mengenali orang Johor, anda akan berjumpa dengan perkataan yang membuatkan anda pelik mendengarnya.\nTerdapat 10 daerah di dalam negeri Johor, seperti daerah Johor Bahru, Segamat, Tangkak, Kulai, Kota Tinggi, Mersing dan sebagainya. Yang sebenarnya, bahasa orang Johor tidak banyak dialek yang sukar difahami. Hal ini disebabkan oleh bahasa dari Johor-Riau ini lebih kurang sama dengan bahasa Melayu. Namun begitu, ada juga dialek daerah yang lebih halus seperti dari daerah Muar, Segamat, Batu Pahat, Sungai Rengit, dan Kuala Sedeli, yang mempunyai dialeknya tersendiri. Ini tidak termasuk dialek daripada bangsa lain seperti Jawa, Banjar, Bugis dan sebagainya.\nContoh dialek dialek Johor-Riau ialah perkatan \u201csaye\u201c (saya), \u201ckite\u201c (kita), \u201cmereke\u201c (mereka), \u201chambe\u201c (hamba) dan \u201cbole\u201c (bola), \u201cair tawa\u201c (air tawar), \u201cbak\u201c (bawa), \u201cbandor\u201c (bandar), \u201cbelajor\u201c (belajar) dan sebagainya. Sebutan atau pertukaran kod ini berlaku kerana kebiasaaan atau kelaziman pertuturan oleh rakyat Johor.\n\u201cDialek dengan bahasa dan dialek dengan budi sebenarnya ialah khazanah yang sangat perlu kita pelihara dan ketengahkan semula dalam masyarakat. Pada tahun 1819 dahulu, Munsyi Abdullah dikatakan pernah mengajar bahasa Melayu kepada Stamford Raffles, untuk membolehkan pentadbir Inggeris berinteksi dengan masyarakat Melayu pada ketika itu. Beliau ada mengungkapkan tentang orang Melayu yang bersikap tidak mengendahkan bahasa Melayu.\u201d\n\u201cSemakin kita berkembang ke era teknologi, maka akan berlakunya migrasi atau perpindahan penggunaan dialek dalam kalangan masyarakat ke tempat-tempat lain. Oleh itu, usaha untuk menggiatkan dan mempopularkan dialek perlu dilaksanakan oleh masyarakat ke arah meraikan kepelbagaian dialek Johor khususnya kepada masyarakat luar Johor. Di samping itu, tahap kebanggaan terhadap dialek perlu ditanam dalam diri kita sendiri. Jangan kita hilangkan bahasa kerana bangsa kita akan turut hilang. Masyarakat perlu meraikan dialek kerana itulah yang menjadikan kita sebuah bangsa yang utuh. Sekiranya masyarakat boleh menguasai semua bentuk warisan bahasa seperti loghat, bahasa slanga, bahasa sukuan, dan dialek, maka alangkah kayanya bahasa kita, iaitu bahasa Melayu.\u201d\nDemikianlah penerangan oleh Tuan Haji Mohd. Noor Abdullah (Munsyi Dewan) dalam Rancangan Dialek Kita: Warisan Dialek Johor menerusi di Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 3.00 petang tadi." "Budaya dan Sejarah Permainan Video World Cup\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBudaya permainan video ialah subkultur media baharu yang terbentuk oleh sekumpulan pemain video di seluruh dunia. Memandangkan permainan video telah meningkat secara eksponen dalam populariti dari semasa ke semasa, maka ia mempunyai pengaruh yang cukup ketara dalam kalangan masyarakat sehingga dianggap sebagai satu daripada budaya popular mutakhir ini.\nBudaya permainan video juga telah berkembang sejajar dengan perkembangan teknologi Internet dan peranti mudah alih. Budaya permainan video ini tercetus apabila minat pemain terhadap sesuatu permainan itu dihubungkan dalam kumpulan sosial dan minat itu dikongsi antara mereka. Dengan teknologi yang terkini, permainan video menjadi lebih sosial apabila keupayaan ramai pemain meningkat dalam talian. Pada masa ini, permainan video bukan sahaja dianggap sebagai satu bentuk hiburan, sebaliknya lebih jauh daripada itu dengan menjadi satu tren pemasaran, persaingan dan menjadi cabang dalam industri sukan yang dikenali sebagai sukan elektronik yang kini diterima secara meluas di seluruh dunia.\nSalah satu permainan video yang sangat popular di seluruh dunia ialah FIFA World Cup yang merujuk kepada pertandingan bola sepak yang disertai oleh pasukan-pasukan negara yang layak ke pusingan akhir piala dunia bola sepak. FIFA selaku penganjur dan pemegang hak kejohanan bola sepak World Cup telah melesenkan permainan video FIFA World Cup sejak tahun 1986 dengan penerima lesen yang pertama ialah U.S Gold. Electronic Arts (EA) menerusi EA Sports menjadi pemegang lesen tunggal permainan video FIFA World Cup hingga ke hari ini sejak memperolehinya pada tahun 1997.\nU.S Gold bukanlah syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat, sebaliknya merupakan syarikat penerbit permainan video British yang berpangkalan di Witton, Birmingham, England. U.S Gold diasaskan pada tahun 1984 oleh Geoff dan Anne Brown untuk memenuhi objektif firma pengedarnya, iaitu CentreSoft yang kedua-duanya menjadi sebahagian daripada Woodward Brown Holdings yang kemudian dijenamakan semula menjadi CentreGold. Tujuan utama syarikat itu ditubuhkan adalah untuk menerbitkan permainan video yang diimport dari Amerika Syarikat dan kemudian menjualnya dengan harga yang lebih rendah di Eropah terutamanya United Kingdom.\nU.S Gold mengeluarkan permainan video World Cup buat julung-julung kalinya sempena edisi 1986 yang berlangsung di Mexico. Permainan video tersebut boleh dimainkan menerusi komputer model Commodore 64, ZX Spectrum dan Amstrad CPC. Permainan video tersebut dikatakan telah dibangunkan oleh Artic namun bukanlah permainan rasmi untuk World Cup edisi Mexico 86. Disebabkan kesuntukan masa, U.S Gold kemudiannya memutuskan untuk memperolehi hak permainan video tersebut daripada Artic dan melakukan penyesuaian agar dapat diselaraskan dengan kejohanan World Cup Mexico 86.\nBagi kejohanan Piala Dunia 1990 yang berlangsung di Itali, Virgin Mastertronic telah mendapat lesen untuk mengeluarkan permainan komputer yang boleh dimainkan menerusi model Amiga, Amstrad CPC, Atari ST, Commodore 64, DOS dan ZX Spectrum. Seperti mana permainan video World Cup versi 1986, permainan ini sebenarnya adalah permainan yang diolah semula daripada versi World Trophy Soccer. Permainan ini dipersembahkan dalam pandangan mata burung tetapi apabila pemain menghampiri gawang gol, ia bertukar kepada paparan 3D kawasan penalti dan pemain mesti cuba menjaringkan gol sebelum disekat oleh pemain pertahanan lawan. Dalam permainan itu, pemain hanya boleh memilih negara England, Belgium, Itali atau Sepanyol, namun permainan tersebut tidaklah sama dengan pasukan yang bermain dalam kejohanan sebenar bola sepak piala dunia.\nSelain permainan komputer, Virgin turut mengeluarkan permainan konsol rasmi di Eropah yang menggunakan nama World Cup Italia 90 untuk konsol Sega Mega Drive dan Master System. Versi Mega Drive juga dikenali sebagai World Championship Soccer, manakala versi Master System dikenali sebagai Super Futebol II di Brazil.\u00a0 U.S Gold turut mengeluarkan permainan video dengan judul Italy 90 yang juga dikenali dengan nama World Class Soccer di Amerika Syarikat, namun bukanlah permainan video yang termasuk dalam siri rasmi FIFA World Cup. Permainan video tersebut boleh dimainkan menerusi model komputer Amiga,\u00a0Amstrad CPC,\u00a0Atari ST,\u00a0Commodore 64,\u00a0ZX Spectrum\u00a0and\u00a0DOS.\nPermainan video rasmi World Cup edisi USA 94 pula dibangunkan oleh Tiertex Design Studios dan diterbitkan oleh U.S Gold. Permainan ini dikeluarkan untuk kegunaan konsol Genesis, CD Sega, Super NES, Master System, DOS, Game Boy, dan Game Gear pada tahun 1994. Antara ciri menarik yang terdapat dalam edisi ini ialah terdapat kumpulan rasmi yang mengandungi pasukan-pasukan yang bertanding dan jadual pertandingan. Versi PC dan CD Sega mengandungi foto stadium yang telah didigitalkan, manakala versi Genesis mengandungi logo Video PolyGram yang merentasi papan iklan stadium dalam permainan. Versi Genesis merupakan permainan konsol pertama yang menyokong mod skrin lebar 16:9. Edisi ini merupakan francais rasmi terakhir siri FIFA World Cup sebelum EA memperoleh hak siri FIFA Soccer.\nWorld Cup 98 ialah permainan rasmi Piala Dunia FIFA pertama yang dibangunkan oleh EA Sports selepas mendapat hak daripada FIFA pada tahun 1997. Tidak seperti permainan Piala Dunia sebelum ini yang dipaparkan dalam bentuk 2D dan menunjukkan pandangan mata burung, World Cup 98 sebaliknya menggunakan enjin 3D dan DirectX untuk versi PC. Kit pasukan kebangsaan yang sebenar (kecuali penjaga gol yang diberikan kit generik) telah diperkenalkan secara lengkap dengan logo pengeluar kit dan barangan rasmi. Enjin permainan berdasarkan kepada FIFA: Road to World Cup 98 walaupun menampilkan beberapa penambahbaikan permainan kecil pada bidang tertentu seperti perubahan strategi dalam permainan dan kedudukan pemain.\nDalam versi yang dibangunkan oleh EA, terdapat mod perlawanan persahabatan apabila pemain boleh memilih pasukan yang terdiri daripada beberapa negara yang tidak layak ke pusingan akhir tetapi dianggap sangat terkenal dan berpengaruh untuk dikecualikan. World Cup 98 dikeluarkan untuk model PC yang serasi dengan Microsoft Windows dan konsol media seperti PlayStation, Nintendo 64 dan Game Boy.\nAntara ciri menarik lain yang terdapat dalam World Cup 98 ialah penampilan lagu Tubthumping oleh Chumbawamba. Permainan ini juga menampilkan suara latar oleh Des Lynam dan Gary Lineker dalam jadual pasukan. Turut terdapat dalam versi ini ialah mod klasik Piala Dunia dengan grafik tona berwarna sepia hitam dan putih klasik dengan ulasan oleh Kenneth Wolstenholme sehingga mewujudkan suasana dan perasaan seperti menonton perlawanan Piala Dunia era lama. Satu fakta menarik tentang World Cup 98 ialah EA Sports mendapat hak untuk menerbitkan permainan video di mana-mana sahaja kecuali di Jepun.\nHal ini kerana di Jepun, hak eksklusif penerbitan permainan video telah diberikan kepada Konami dan Sega. Konami telah diberikan lesen Piala Dunia FIFA untuk menghasilkan permainan video Nintendo 64, iaitu Jikkyou World Soccer: World Cup France 98 yang telah dibangunkan oleh pasukan Konami KCEO yang berpangkalan di Osaka dan hanya dikeluarkan di Jepun. Konami juga turut diberikan lesen untuk menghasilkan permainan video PlayStation, iaitu World Soccer Jikkyou Winning Eleven 3: World Cup France 98 tetapi dibangunkan oleh pasukan Konami KCET yang berpangkalan di Tokyo, Jepun. Sega pula diberikan lesen Piala Dunia FIFA untuk menghasilkan permainan video untuk konsol Saturn Piala Dunia 98 France: Road to Win.\nWorld Cup FIFA 2002 yang berlangsung di Korea Selatan dan Jepun diabadikan dalam permainan video yang menggabungkan enjin permainan FIFA Football 2002 dan FIFA Football 2003. Permainan ini masih menggunakan bar kuasa untuk tendangan dan hantaran silang tetapi dengan keluk pembelajaran yang lebih curam dan peluang yang lebih tinggi untuk dihukum oleh pengadil perlawanan. Kit pasukan kebangsaan yang dipaparkan adalah kit sebenar. Begitu juga dengan fizikal pemain dan stadium perlawanan yang dipersembahkan dengan rupa sebenar. Tidak seperti permainan sebelumnya dalam siri FIFA, permainan ini mempunyai runut bunyi asal yang dipersembahkan oleh Orkestra Simfoni Vancouver. Versi ini dikeluarkan untuk Windows, PlayStation, PlayStation 2, Nintendo GameCube dan Xbox.\nWorld Cup FIFA 2006 dikeluarkan oleh EA Sports pada dua minggu terakhir bulan April 2006. Permainan ini bukan sahaja menunjukkan perlawanan dalam pusingan akhir Piala Dunia yang berlangsung di Jerman, bahkan termasuklah enam pusingan kelayakan serantau. Terdapat 127 pasukan kebangsaan yang boleh dipilih dalam permainan video ini. Pemain juga boleh mencipta dan mereka bentuk pemain mereka sendiri dan memasukkannya ke dalam pasukan kegemaran mereka. Terdapat peningkatan kecil dalam permainan edisi FIFA 06 seperti Mod Cabaran Global yang merangkumi 40 cabaran berdasarkan perlawanan klasik Piala Dunia atau pusingan kelayakan dan Mod Tendangan Penalti yang menawarkan pengalaman yang lebih realistik.\nDalam edisi World Cup FIFA 2010, pemain boleh memilih 199 daripada 204 pasukan kebangsaan yang mengambil bahagian dalam pusingan kelayakan Piala Dunia FIFA 2010. Lima pasukan yang berada dalam undian untuk kelayakan Piala Dunia tetapi tidak termasuk dalam edisi ini ialah pasukan Republik Afrika Tengah, Eritrea, S\u00e3o Tom\u00e9 dan Pr\u00edncipe dari benua Afrika serta pasukan Bhutan dan Guam dari benua Asia. Kelima-lima pasukan ini telah menarik diri daripada peringkat kelayakan lagi. Selain itu, permainan video ini juga tidak menampilkan Brunei, Laos, Papua New Guinea dan Filipina yang tidak menyertai kelayakan Piala Dunia.\nFIFA World Cup 2014 Brazil ialah permainan video rasmi untuk Piala Dunia FIFA 2014 yang diterbitkan oleh EA Sports untuk PlayStation 3 dan Xbox 360 serta dikeluarkan pada 15 April 2014 di Amerika Utara dan 17 April 2014 di Eropah. Edisi ini menampilkan penambahbaikan permainan video FIFA 14 seperti keupayaan menggelecek, ketepatan dalam hantaran dan mekanisme sentuhan pertama. Mod kempen permainan, iaitu Road to Rio de Janeiro membolehkan pemain bermain dalam pusingan kelayakan dan Piala Dunia FIFA sebenar. Hanya buat kali ketiga dalam sejarah permainan video Piala Dunia, keseluruhan siri kelayakan boleh dimainkan.\nVersi 2010 hanya mempersembahkan kumpulan UEFA dan CONMEBOL dalam bentuk sebenar mereka. Mod menarik yang terdapat dalam Road to Rio de Janeiro ialah pemain boleh bersaing dalam kejohanan secara dalam talian merentasi 12 lokasi perlawanan Piala Dunia FIFA 2014. Formatnya adalah serupa dengan Seasons dalam FIFA 14 dan mod Ekspedisi dalam UEFA Euro 2012.\nFIFA 14 adalah berbeza dengan FIFA World Cup 2014 kerana FIFA 14 ialah permainan video simulasi bola sepak yang dibangunkan oleh EA Canada dan diterbitkan oleh EA di seluruh dunia di bawah label EA Sports. FIFA 14 dikeluarkan pada September 2013 untuk PlayStation 2, PlayStation 3, PlayStation Portable, PlayStation Vita, Xbox 360, Wii, Nintendo 3DS dan Microsoft Windows. Edisi ini turut dikeluarkan sebagai freemium, di bawah tajuk FIFA 14 Mobile untuk iOS dan Android pada 23 September 2013 dan untuk Windows Phone 8 pada 28 Februari 2014.\nFIFA 14 turut menjadi tajuk pelancaran untuk PlayStation 4 dan Xbox One pada November 2013. Manakala versi PlayStation 2 hanya dikeluarkan di wilayah PAL dan pasaran berbahasa Sepanyol. Edisi ini adalah permainan terakhir yang dikeluarkan untuk sistem di Amerika Syarikat. Versi PlayStation Portable hanya dikeluarkan dalam format muat turun digital di Amerika Utara.\nPada 30 April 2018, EA mengumumkan pengembangan percuma untuk FIFA 18 berdasarkan Piala Dunia FIFA 2018 yang menampilkan kesemua 32 pasukan yang mengambil bahagian dan kesemua 12 stadium yang digunakan pada Piala Dunia FIFA 2018. Tiada pusingan kelayakan serantau yang membawa kepada Piala Dunia untuk dipaparkan pada DownLoadable Content (DLC) ini seperti yang terdapat pada perlawanan piala dunia sebelum ini. Edisi kemas kini dikeluarkan pada 29 Mei 2018 untuk dimainkan menerusi PlayStation 4, Xbox One, Windows dan Nintendo Switch serta edisi kemas kini untuk peranti mudah alih pada 6 Jun 2018.\nWalaupun permainan video pada hari ini bukan sekadar satu aktiviti pengisian pada masa lapang, tetapi bagi sesetengah orang, permainan video adalah sumber mata pencarian. Permainan video seperti FIFA World Cup dianggap sebagai lubuk rezeki. FIFAe World Cup yang dahulunya dikenali sebagai Piala Dunia Interaktif FIFA (FIWC) dan Piala eWorld FIFA adalah kejohanan yang ditunggu-tunggu untuk mencuba nasib dalam kalangan pemain. Kejohanan tersebut dianjurkan oleh FIFA sendiri bersama-sama rakan kerjasamanya, iaitu EA Sports.\nFormat kelayakan secara terbuka membolehkan berjuta-juta pemain bersaing dalam peringkat awal secara dalam talian yang telah menyebabkan FIWC diiktiraf sebagai permainan eSukan dalam talian terbesar oleh Guinness World Records. Kejohanan yang pertama telah berlangsung di Zurich, Switzerland pada tahun 2004. Sebagaimana yang dilaporkan oleh BBC Sport pada 6 Ogos 2018, pemenang kejohanan edisi 2018, iaitu Mosaad Al Dossary dari Arab Saudi dikatakan\u00a0telah menerima hadiah yang cukup lumayan berupa wang tunai sebanyak USD250 000 dan tiket jemputan ke acara Anugerah Terbaik FIFA yang dihadiri oleh para pemain bola sepak terbaik dunia." "Festival Kraf Langkawi 2022 Mengkomersialkan Kraf Tempatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Kecaknaan Generasi Muda tentang Permainan Tradisional\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerkembangan teknologi pada zaman ini telah memberi pelbagai impak kepada generasi muda pada masa kini sama ada impak yang positif mahupun negatif. Satu daripada impak yang positif ialah kemajuan teknologi yang ada pada hari ini telah banyak membantu dalam memudahkan urusan seharian masyarakat. Manakala impak negatifnya pula telah menjadikan generasi muda era kini terlalu taasub dengan teknologi sehingga mereka leka dan tidak bergaul dengan masyarakat.\nMenurut Mohd (2021), statistik menunjukkan peningkatan terhadap peratus capaian Internet bagi isi rumah, iaitu sebanyak 91.7 peratus pada tahun 2020 berbanding 90.1 peratus pada tahun 2019. Capaian telefon bimbit dan komputer bagi setiap isi rumah turut meningkat, iaitu sebanyak 98.6 peratus dan 77.6 peratus pada tahun 2020. Antara aktiviti Internet yang paling popular di Malaysia adalah menyertai rangkaian sosial termasuklah permainan secara dalam talian. Keadaan ini telah menjadikan generasi muda tidak terdedah dengan pelbagai aktiviti riadah dan permainan tradisional yang menjadi sebahagian daripada aktiviti yang sering dilakukan oleh generasi pada zaman terdahulu pada setiap petang.\nDalam meniti arus kemodenan zaman, kanak-kanak didedahkan dengan gajet seawal usia lima tahun oleh ibu bapa mereka. Kajian oleh Malaysian Communications and Multimedia Commission (MCMC) mendapati bahawa 83.2 peratus pengguna Internet adalah kanak-kanak yang berumur 5 sehingga 17 tahun (Aina & Hapsah, 2020). Keadaan ini membuktikan bahawa generasi muda lebih selesa untuk menghabiskan masa mereka dengan bermain permainan dalam talian berbanding dengan permainan tradisional.\nHal ini kerana bermain permainan tradisional perlu menggunakan banyak tenaga, cepat berpeluh dan berasa panas. Keadaan ini menjadikan generasi tidak berminat untuk bermain permainan tradisional. Selain itu, kebanyakan permainan tradisional hanya boleh dimainkan jika terdapat beberapa orang yang terlibat secara langsung. Namun begitu, teknologi yang berkembang pesat pada hari ini menyebabkan generasi muda kurang bersosial dan lebih memilih untuk menghadap gajet masing-masing. Hal ini demikian kerana generasi muda telah didedahkan dengan gajet sejak kecil lagi dan hal ini telah menjadi satu amalan dan budaya dalam kehidupan mereka.\nSeterusnya, permainan tradisional juga dianggap ketinggalan zaman oleh generasi muda kerana majoriti generasi muda dibekalkan dengan gajet yang mempunyai pelbgai kemudahan dan pelbagai permainan yang boleh diakses dengan mudah. Situasi ini menjadikan generasi muda berasa malu dan janggal untuk bermain permainan tradisional serta lebih memilih untuk bermain permainan dalam talian sahaja.\nSehubungan dengan itu, generasi muda lebih mengenali permainan seperti Candy Crush, Angry Bird, Mobile Legend, Player Unknown\u2019s Battlegrounds (PUBG) dan Pok\u00e9mon Go berbanding dengan permainan congkak, batu seremban, gasing, tuju selipar dan galah panjang. Walau bagaimanapun, tanpa kita sedar, permainan moden yang dinyatakan ini mempunyai banyak kesan yang negatif sama ada dari segi mental mahupun fizikal. Sebagai contohnya, permainan yang menggunakan gajet boleh menyebabkan kerosakan pada mata seseorang kerana pendedahan mata kepada cahaya skrin yang terlalu lama.\nMenurut Bastian et al. (2019), permainan tradisional boleh berperanan untuk mengelakkan kebergantungan kepada gajet yang berlebihan. Secara umumnya, permainan tradisional bukan sahaja berfungsi sebagai hiburan, bahkan bermanfaat untuk kecerdasan rohani dan jasmani diri. Kebanyakan permainan tradisional amat menitikberatkan kemampuan fizikal seseorang. Sebagai contohnya, permainan tarik upih dapat meningkatkan kekuatan fizikal diri kerana permainan ini memerlukan seseorang itu untuk menarik dan berlari sambil memegang upih. Bertentangan dengan permainan moden pada masa kini yang meminimumkan pergerakan tubuh dalam tempoh waktu yang panjang. Situasi ini akan menyebabkan generasi muda lebih terdedah kepada masalah kesihatan yang melibatkan bahagian tengkuk dan belakang badan.\nDi samping itu, permainan tradisional turut berkesan untuk dijadikan sebagai aktiviti sampingan dalam pembelajaran bagi generasi muda. Hal ini tercetus apabila proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) pada hari ini amat menitikberatkan pengajaran yang berasaskan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21). Tambahan pula, pengajaran yang berasaskan PAK-21 banyak menerapkan elemen permainan ketika proses mengajar. Sebagai contohnya, permainan dam ular banyak digunakan oleh guru sebagai aktiviti PAK-21 ketika pelaksanaan proses PdP. Justeru, generasi muda pasti dapat mengetahui tentang kewujudan permainan ini.\nPada zaman ini, majoriti generasi muda mengetahui tentang kewujudan permainan dam ular kerana mereka sering didedahkan dengan permainan ini. Oleh hal yang demikian, jika permainan tradisional yang lain turut diaplikasikan ketika proses PdP, maka pasti permainan-permainan ini tidak akan dilupakan dan akan sentiasa diwarisi oleh generasi yang akan datang.\nSelain itu, permainan tradisional juga mempunyai manfaat yang besar untuk perkembangan hidup generasi muda dan merupakan salah satu lambang budaya bagi sesebuah masyarakat di dunia ini. Menurut Norfarizah et al. (2020), perkembangan jiwa, sifat dan kebudayaan hidup sosial generasi muda pada masa depan boleh dipengaruhi oleh permainan tradisional sesebuah masyarakat. Sehubungan dengan itu, generasi muda haruslah memelihara budaya ini agar \u201ctak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas\u201d. Jika permainan tradisional dipelihara dengan baik dan dikomersialkan, masyarakat kita pasti dapat menarik perhatian masyarakat luar negara dan dipandang tinggi oleh mereka.\nSebagai contoh, permainan sepak raga atau lebih dikenali sebagai sepak takraw dapat menarik perhatian masyarakat luar dan telah dijadikan sukan yang dipertandingkan pada peringkat antarabangsa. Justeru, tidak mustahil permainan tradisional yang lain juga dapat dikomersialkan jika generasi muda masih memberi sambutan kepada permainan tersebut.\nDi samping itu, permainan tradisional juga dapat mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat. Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai bangsa. Maka itu, rakyat Malaysia haruslah bijak dalam mencari dan melaksanakan aktiviti yang dapat menyatukan ukhuwah masyarakat dan saling bekerjasama dalam sebarang situasi.\nSehubungan dengan itu, permainan tradisional merupakan satu daripada aktiviti yang paling sesuai bagi mengeratkan hubungan perpaduan dalam kalangan masyarakat kerana sering dimainkan secara berpasangan atau berkumpulan. Tambahan lagi, permainan tradisional bukan sahaja dimainkan oleh bangsa Melayu sahaja, bahkan turut dimainkan oleh bangsa India dan Cina. Antara permainan tradisional tersebut termasuklah congkak, wau, batu seremban, sepak raga, gasing, kabaddi dan mahjung.\nPermainan tradisional merupakan salah satu aktiviti yang dapat meningkatkan semangat bekerjasama dalam kalangan masyarakat terutamanya bagi generasi muda. Hal ini disebabkan oleh sifat permainan tradisional yang kebanyakannya perlu bermain secara berpasangan atau berkumpulan. Sebagai contohnya, keperluan permainan congkak dan batu seremban secara berpasangan, manakala sepak takraw dan galah panjang pula perlu bermain secara berkumpulan. Jika dibandingkan dengan permainan moden yang ada pada zaman ini, kebanyakannya boleh dimainkan secara berseorangan dan tidak menggalakkan pergaulan ssosial antara pemain. Kini jelas terbukti bahawa permainan tradisional dapat membantu mempertingkatkan lagi semangat bekerjasama dalam kalangan masyarakat di negara ini.\nGenerasi muda haruslah cakna terhadap permainan tradisional yang semakin tenggelam ditelan arus kemodenan zaman kerana permainan tradisional merupakan warisan daripada nenek moyang yang tiada galang gantinya. Jika generasi muda pada zaman ini tidak melestarikan permainan tradisional, nescaya generasi akan datang tidak akan tahu tentang kewujudan permainan tradisional ini.\nKebanyakan permainan tradisional ini wujud hasil daripada sebahagian aktiviti kehidupan yang dilalui oleh masyarakat pada zaman dahulu secara turun-temurun. Sebagai contohnya, permainan laga biji getah banyak dimainkan oleh kanak-kanak pada zaman dahulu kerana majoriti nenek moyang terdahulu banyak menjalankan aktiviti pertanian seperti menoreh getah sebagai hasil pendapatan keluarga. Sehubungan dengan itu, masyarakat terdahulu mewujudkan permainan yang berasaskan daripada buah getah yang dikenali sebagai laga biji getah.\nKesimpulannya, permainan tradisional merupakan salah satu khazanah negara dan warisan bagi sesebuah bangsa yang tidak ternilai harganya. Oleh hal yang demikian, generasi muda kini haruslah memikul tanggungjawab untuk terus melestarikan permainan tradisional yang dimainkan oleh generasi terdahulu agar permainan ini akan terus kekal dimainkan dan dikenali oleh generasi-generasi masa depan.\nNatijahnya, generasi muda mestilah cakna dan melibatkan diri mereka dengan permainan tradisional agar permainan tradisional yang ada di negara kita ini akan terus berkekalan sepanjang zaman. Sehubungan dengan itu, semua pihak harus memainkan peranan dalam melestarikan permainan tradisional merangkumi pihak kerajaan, ibu bapa dan media agar permainan tradisional terus menjadi buah mulut orang ramai sepanjang masa." "Raja Muda Perlis dan Keluarga Berkunjung ke Johor\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJohor Bahru \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan mencemar duli berkunjung ke Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar di Sri Gelam, Johor Bahru, Johor pada petang 28 Disember 2022 yang lalu.\nTurut hadir bersama-sama ialah puteri dan putera baginda berdua, iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah, YAM Sharifah Farah Adriana dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.\nKetibaan baginda sekeluarga disambut oleh Pengarah Yayasan Warisan Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Dato\u2019 Haji Mohd Noorazam Dato\u2019 Haji Osman dan isterinya, Datin Hajah Azalila Mohd Aris.\nSelain meluangkan masa melawat Galeri Seni Johor yang sedang mengadakan pameran dengan tema \u201cDetik-Tok Sekolah Seni Malaysia Johor\u201d, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan seisi keluarga turut berkenan menyertai dan memeriahkan aktiviti \u201cTie and Dye\u201d.\nDYTM Tuanku Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis turut berkenan mengunjungi Galeri Tenun Johor di samping menyaksikan persembahan Mini Showcase of Traditional Performances.\nPihak tuan rumah turut mempersembahkan ucapan Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun Keputeraan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis yang ke-55 pada hari Jumaat bersamaan dengan 30 Disember 2022." "Menghayati Keunikan Budaya Masyarakat Majmuk di Pulau Pinang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGeorge Town \u2013 Majlis Perasmian Pesta Kebudayaan dan Kesenian USM 2022 (USM ACF 2022) telah berlangsung pada malam 30 Disember 2022 bertempat di Padang Kawad, USM, George Town, Pulau Pinang dan majlis perasmian disempurnakan oleh Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang. Penganjuran USM ACF 2022 oleh Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Tionghua Universiti Sains Malaysia (SKKT USM) mendapat sambutan hebat dengan kehadiran seramai 3000 orang penonton yang terdiri daripada pelajar USM dan warga kerja USM.\nDalam ucapan Majlis Perasmian USM ACF 2022, Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang menjelaskan bahawa keunikan budaya yang terdapat di Malaysia merupakan salah satu sumber ekonomi yang amat berharga kerana dianggap sebagai suatu daya tarikan pelancongan.\nUSM ACF 2022 yang bertemakan \u201cRetro Memoir\u201d telah memperkenalkan nilai teras \u201cUphold the Colours of Culture\u201d bertujuan untuk memberi peluang kepada generasi muda menghayati keunikan budaya masyarakat majmuk berbilang kaum di Malaysia, selain mewarisi keunikan budaya setiap kaum di Malaysia. Pelibatan semua pelajar USM dalam USM ACF 2022 juga bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar USM meningkatkan nilai jati diri sebagai generasi kepemimpinan negara kelak.\nPenganjuran USM ACF 2022 merupakan landasan terbaik kepada semua pelajar USM untuk memupuk semangat toleransi dan mengeratkan perpaduan. Hasilnya, USM ACF 2022 telah menyajikan pelbagai persembahan kebudayaan menarik dan persembahan tarian tradisional oleh Kumpulan Kesenian Adikarma, USM Pulau Pinang.\nTetamu kehormat yang hadir dalam USM ACF 2022 termasuklah Puan Ramnah Ramli, Pengarah Dewan Budaya USM mewakili Naib Canselor USM; Tan Ewe Hoe, Timbalan Pengarah Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) USM; Sydney Lim Xin Ni, Yang Di-Pertua Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Tionghua USM (SKKT USM); Ng Jun Ming, Pengarah Projek Pesta Kebudayaan dan Kesenian USM 2022 serta para pegawai utama USM." "\u201cJom Jalan Santai\u201c Membudayakan Gaya Hidup Sihat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAlor Setar \u2013 Program Jom Jalan Santai Ambang Tahun Baharu 2023 telah berlangsung pada malam 31 Disember 2022 bertempat di Dataran Starwalk, Alor Setar, Kedah. Penganjuran Program Jom Jalan Santai Ambang Tahun Baharu 2023 oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Bandaraya Alor Setar ke-19 di samping membudayakan gaya hidup yang sihat.\nJarak perjalanan jalan kaki dalam Program Jom Jalan Santai Ambang Tahun Baharu 2023 ialah sejauh tiga kilometer menerusi laluan enam check point utama, iaitu Lintasan Zebra Bulatan Teluk Wanjah, Alor Setar Business Centre, Menara Alor Setar, Medan Bandar, Medan Sungai Raja dan Bangunan Majlis Bandaraya Alor Setar, Dataran Starwalk.\nSemua peserta boleh bergambar di Menara Alor Setar (Check Point 3), Medan Bandar (Check Point 4) dan Medan Sungai Raja (Check Point 5) sebagai syarat utama untuk menyertai Pertandingan Gambar Klik-klik Bandaraya Alor Setar dengan memuat naik foto menarik dalam Facebook Majlis Bandaraya Alor Setar sebelum 1 Januari 2023 dengan menulis tanda pagar (hashtag) #MBAS #SUBAS19 #JomJalanSantai2022 #Klik2AOR #JJS2022 #AlorSetar. Pemenang Pertandingan Gambar Klik-klik Bandaraya Alor Setar akan diumumkan pada 11 Januari 2023 menerusi platform Facebook Majlis Bandaraya Alor Setar.\nAcara pelepasan semua peserta Program Jom Jalan Santai Ambang Tahun Baharu 2023 bermula pada pukul 8.30 malam dan berakhir pada pukul 10.30 malam setelah semua peserta selamat sampai di hadapan Bangunan Pejabat Majlis Bandaraya Alor Setar, Dataran Starwalk (Check Point 6) tepat pukul 10.30 malam.\nSelain itu, Acara Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah bagi Program Jom Jalan Santai Ambang Tahun Baharu 2023 telah disempurnakan oleh Yang Berhormat (YB) Ustaz Afnan Hamimi Dato\u2019 Taib Azamuddin, Ahli Parlimen Kota Setar yang diiringi oleh Yang Berbahagia Dato\u2019 Haji Mohd Yusri Haji Md Daud, Datuk Bandar Alor Setar dan pegawai-pegawai MBAS.\nProgram Jom Jalan Santai Ambang Tahun Baharu 2023 berakhir dengan Sambutan Detik Tahun Baharu 2023 di Pentas Utama Food Republic Alor Setar. Di samping itu, semua pengunjung dihiburkan dengan persembahan hebat oleh penyanyi popular tanah air seperti Zaiton Sameon, Shajiry KGB dan semua artis tempatan yang menjayakan pesta jualan makanan terbesar di Food Republic Alor Setar." "Escape: Filem Melayu Tempatan Pertama Tahun 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Filem Escape merupakan arahan sulung Ikhwansha Hazer yang turut menulis lakon layarnya yang bercorak seram. Filem ini diterbitkan oleh Dreamland Productions bersama-sama DMY Creation. Ikhwansha Hazer sebelum ini pernah menulis lakon layar filem arahan Osman Ali, iaitu Sejoli: Misi Cantas Cinta.\n\nEscape sepatutnya ditayangkan bermula pada 19 Mac 2020. Walau bagaimanapun, tayangan filem ini terpaksa ditangguhkan ekoran penularan pandemik COVID-19 selepas meneliti, mengkaji, mendengar serta menilai pandangan dan nasihat daripada beberapa pihak.\nSelepas lebih dua tahun ditunda, akhirnya Escape akan memulakan tayangan umum di seluruh negara pada 5 Januari 2023. Sehubungan dengan itu, Escape menjadi filem Melayu tempatan pertama yang ditayangkan pada tahun 2023.\nEscape membawakan kisah seorang lelaki amnesia, iaitu Adam yang dilakonkan oleh Kamal Adli yang terkurung di dalam sebuah bilik misteri. Setelah sekian lama dalam keadaan sebegitu, akhirnya Adam membuat keputusan untuk melawan masa dan membongkar semula identiti sebenarnya demi menghalang plot jahat sebuah kumpulan pengganas yang mahu menggugat keamanan negara.\nSelain Kamal, Escape yang menelan kos perbelanjaan penerbitan kira-kira RM600 000 turut menampilkan Riz Amin sebagai Inspektor Azizul, pelakon aksi lasak, Pablo Amirul sebagai Hitman, Jue Aziz (Operator Polis), pelakon veteran Dato\u2019 Jalaluddin Hassan (Mejar Dzulkarnain), Zamarul Hisham (Imam Muljain), Elizabeth Tan (Eva) dan Amar Asyraf sebagai Hamzah." "Makam Raja Busu Bakal Menjadi Tumpuan Pengkaji Sejarah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPort Dickson \u2013 Makam Raja Hassan bin Raja Muda Raja Nala ibni Almarhum Sultan Salehhuddin atau lebih dikenali sebagai Raja Busu di Kampung Chuah, Lukut, Port Dickson yang telah selesai dinaik taraf bakal menjadi antara destinasi tumpuan pengkaji sejarah di seluruh negara.\nMenurut EXCO Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan Selangor, Yang Berhormat (YB) Tuan Borhan Aman Shah, kerja-kerja menaik taraf Makam Raja Busu di Kampung Chuah, Kuala Lukut bertujuan untuk memulihara tapak tersebut sebagai Makam Bersejarah kerana kepentingan peranan Raja Busu dalam pentadbiran kerajaan Selangor pada awal abad ke-19.\nTambah beliau lagi, kerja-kerja menaik taraf juga adalah bagi membolehkan makam tersebut berada dalam keadaan yang lebih baik dan kondusif untuk dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat.\n\u201cPerbadanan Adat dan Warisan Selangor (PADAT) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membenarkan para pengunjung untuk melawat makam tersebut bagi tujuan kajian serta penyelidikan. Walau bagaimanapun, permohonan harus dibuat kepada pihak berkuasa terlebih dahulu bagi memastikan tiada sebarang pelanggaran prosedur berlaku,\u201d kata YB Tuan Borhan Aman Shah.\nKerja-kerja menaik taraf Makam Raja Busu turut merangkumi kerja-kerja menaik taraf makam isteri baginda dan lima makam lain di sekitarnya, membina sebuah pusat wakaf terbuka, membina pagar kawasan dan laluan pejalan kaki, membersihkan kawasan, membina jalan crusher run, membaik pulih tangga yang sedia ada, memasang papan tanda dan lain-lain kerja yang berkaitan. Kerja-kerja menaik taraf ini bermula pada 1 Ogos 2022 dan telah siap sepenuhnya pada 15 November 2022.\nMajlis Penyerahan Projek Menaik taraf Makam Raja Busu, Lukut, Port Dickson antara pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dengan PADAT dan seterusnya kepada pihak JAIS untuk tujuan penyelenggaraan telah berlangsung semalam dengan disaksikan oleh YB Tuan Borhan Aman Shah." "\u201cMinggu Perpaduan\u201d dan \u201cIni Malaysia Kita\u201d Meningkatkan Semangat Patriotisme\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar\u00a0\u2013 Dalam usaha meningkatkan semangat patriotisme dan jati diri dalam kalangan rakyat, Kementerian Perpaduan Negara akan menganjurkan dua inisiatif utama berskala besar pada tahun 2023, iaitu Program Minggu Perpaduan dan Ini Malaysia Kita.\nMenteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, inisiatif tersebut berlandaskan prinsip asas kepada Rukun Negara dan bertujuan untuk menyemai semangat perpaduan dalam kepelbagaian rasa cinta kepada tanah air.\n\u201cBanyak kebaikan bakal dinikmati oleh penduduk di negara ini jika sentiasa menghayati program yang diperkenalkan itu. Di samping itu, warga kementerian ini yang terdiri daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Arkib Negara Malaysia (ANM) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) perlu serius dalam menjayakan hal tersebut,\u201d ujar Datuk Aaron Ago Dagang.\nBeliau berkata demikian sewaktu menghadiri Majlis Perjumpaan dan Amanat Menteri Perpaduan kepada hampir 700 orang warga kementerian itu di Dewan 2020, Kangar, Perlis.\nDatuk Aaron Ago Dagang berada di negeri Perlis selama dua hari semasa mengadakan lawatan kerja rasmi bermula pada 8 Januari 2023. Turut hadir bersama-sama dalam lawatan kerja itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Noridah Abdul Rahim.\nMenerusi lawatan kerja itu, beliau\u00a0 berkesempatan membuat tinjauan ke Projek Pembinaan Kompleks Perpaduan Perlis di mukim Seriab. Pembinaan kompleks itu bakal menempatkan Pejabat Perpaduan Negeri, Tabika Perpaduan, Taska Genius Perpaduan, Pusat Rukun Tetangga dan Pusat Mediasi Komuniti Perpaduan.\nSebelum itu, beliau mendengar taklimat mengenai pelbagai aktiviti perpaduan yang disampaikan oleh Pegawai JPNIN Negeri Perlis, Hanita Ahmad sebelum mengadakan lawatan ke Muzium Kota Kayang, Galeri Diraja Istana Arau. Pada sesi petang pula, Datuk Aaron Ago Dagang menyertai Program Kayuhan MAIPs Peduli Menyantuni Asnaf bersama-sama Duli Yang Teramat Mulia, Tuanku Syed Faizuddin Putera ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis." "Pelaksanaan MAIPs Peduli Menjadi Model Kementerian Perpaduan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Usaha untuk memperkasakan program perpaduan negara harus menjadi agenda utama dalam mewujudkan keseimbangan kehidupan rakyat berbilang kaum di Malaysia.\nDatuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara menyarankan agar kementeriannya dapat menghasilkan model seumpama aktiviti \u201cMAIPs Peduli\u201c yang dijalankan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk diperluaskan pelaksanaan di tempat yang lain dalam negara ini.\n\u201cMungkin kita dapat selitkan inti pati aktiviti seperti ini dalam program perpaduan yang sedang dirancang dan akan dilaksanakan untuk tahun ini. Sebagai misalnya, kita mengadakan minggu perpaduan yang melibatkan aktiviti melawat kawasan yang terdiri daripada populasi pelbagai agama dan kaum. Usaha menarik seperti ini dijangka dapat memupuk kesepaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat kita yang berbilang bangsa, kaum dan agama,\u201c katanya.\nDemikian sebahagian ucapan beliau selepas mengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis dalam program MAIPs Peduli pada petang semalam.\nTerdahulu, beliau turut mengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra hadir dalam program pemeriksaan kesihatan asnaf oleh MAIPs dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri di Masjid Al-Ariffin Padang Katong, Kangar yang melibatkan seramai 50 orang peserta dari kariah masjid tersebut dan 70 orang dari kariah Masjid Al-Istiqamah Kg Teluk Jambu.\nSelepas menjalankan pemeriksaan kesihatan, setiap asnaf yang hadir berpeluang mendengar ceramah kesihatan daripada pegawai Jabatan Kesihatan Negeri sebelum menerima sumbangan MAIPs daripada Tuanku Raja Muda Perlis merangkap Yang DiPertua Majlis bernilai RM700 setiap seorang dengan jumlah penuh sebanyak RM84 ribu pada sesi kali ini." "Bahasa Melayu Cerminan Budaya Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSEREMBAN \u2212 Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi amat penting dalam kalangan masyarakat dan perlu dimartabatkan dengan sepenuh hati oleh setiap warganegara Malaysia, tidak kira oleh apa-apa bangsa sekali pun.\nSehubungan dengan itu, bagi mencapai matlamat ini, Program Dekad Bahasa Kebangsaan 2021 yang bertemakan \u201cBahasa Jiwa Bangsa\u201d amat penting untuk memberikan kesedaran kepada pelajar dan pensyarah tentang kepentingan bahasa Melayu dalam memperkasakannya sebagai bahasa kebangsaan. Di samping itu, program ini juga diadakan untuk memaklumkan kepada masyarakat tentang kepakaran serta sumbangan anggota masyarakat dalam pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu, budaya dan ketamadunan bangsa.\n\u201cBahasa Jiwa Bangsa\u201c boleh ditakrifkan dari segi bahasa sebagai alat pengikat diri kita yang berada dalam masyarakat ataupun kita yang berada dalam sebuah negara. Oleh itu, amat penting bagi masyarakat mempunyai pengetahuan tentang bahasa Melayu yang berperanan sebagai alat untuk berkomunikasi. Penguasaan bahasa Melayu yang baik dalam kalangan semua warganegara amat penting bagi tujuan kelancaran komunikasi. Fungsi atau peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan untuk berkomunikasi tidak kesampaian jika penguasaan yang lemah dalam bahasa Melayu masih berleluasa\u00a0 dalam kalangan masyarakat.\nBagi masyarakat bukan Melayu yang masih belum menguasai bahasa Melayu dengan baik, hal ini amat menyedihkan setelah 64 tahun negara merdeka. Bahasa Melayu merupakan satu-satunya bahasa di dunia yang masih tidak dikuasai sepenuhnya dengan baik oleh warganegara Malaysia. Hal ini amat malang sekali dan seharusnya setiap warganegara perlu dipersoalkan dari segi kerakyatan yang dipegang oleh warga berkenaan kerana bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan negara Malaysia.\nPenguasaan bahasa Melayu yang baik, sopan dan betul penting sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu mendukung dua peranan sekali gus, iaitu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Bahasa Melayu cerminan identiti nasional negara ini dan identiti budaya bagi masyarakat Malaysia.\nDari segi ketulenan\u00a0 bahasa Melayu, kita seboleh-bolehnya perlu cuba sedaya-upaya untuk menggunakan bentuk asal atau bentuk asli bahasa Melayu. Hal ini penting untuk mengekalkan jati diri bahasa Melayu itu sendiri. Akhir-akhir ini, banyak dalam kalangan masyarakat yang menggunakan bentuk asing seperti bahasa Inggeris dan bahasa lain secara berleluasa.\n\u201cAdalah menjadi kewajipan setiap etnik Melayu untuk cakna akan bahasa Melayu. Usah bersikap tidak peduli akan bahasa Melayu. Hal ini sudah lama disuarakan oleh para pencinta bahasa dan badan-badan yang cakna akan bahasa Melayu. Namun begitu, masih banyak yang bersikap bersahaja dan mengambil mudah tentang kepentingan bahasa Melayu. Sikap tidak mengambil peduli tentang bahasa dalam kalangan orang Melayu itu sendiri perlu diambil perhatian serius dalam kalangan masyarakat.\u00a0 Jika orang Melayu sendiri tidak menghormati bahasa Melayu, maka ini akan menjadi teladan yang buruk kepada bangsa lain (bangsa bukan Melayu) untuk menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.\u201d\nDemikianlah antara penerangan oleh YBhg. Prof. Emeritus Dato\u2019 Dr. Teo Kok Seong, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia, semasa menyampaikan ceramah yang bertajuk \u201cBahasa Melayu Jiwa Bangsa Malaysia\u201d semasa Majlis Penutupan Sambutan Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan 2021, Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah pada pukul 9.40 pagi tadi.\nYang turut hadir merasmikan\u00a0 majlis penutupan ini ialah Tuan Haji Md. Johari Hasan, Timbalan Pengarah Dasar DBP. Menurut beliau, program yang dianjurkan ini menggambarkan komitmen dan iltizam IPD Kampus Raja Melewar dalam mengangkat dan melestarikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara. Beliau juga berharap agar program seperti ini akan dapat memantapkan dan memperkukuh jati diri dan citra bangsa Malaysia dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Masyarakat juga disarankan agar terus menyuburkan bahasa Melayu bagi menjadikan masyarakat Malaysia berbudaya tinggi dan memiliki minda kelas pertama. Usaha menanam rasa megah akan bahasa kebangsaan bukan bermusim dan perlu dilaksanakan secara berterusan." "Semua Pihak Harus Saling Memahami bagi Menyemai Semangat Perpaduan \u2013 DYMM Tuanku Raja Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Raja Perlis bertitah menasihati agar mana-mana pihak tidak lagi mencurahkan minyak ke dalam api, terutamanya apabila bangkitnya sebarang isu perkauman yang mampu meruntuhkan semangat perpaduan dalam negara ini.\nBaginda turut berkongsi pengalaman peribadi ketika berkhidmat sebagai seorang Pegawai Tentera dahulu apabila ditugaskan dalam Kor Peninjau DiRaja (kini dikenali sebagai Kor Armor DiRaja) ketika negara pada waktu itu bergelut dengan ancaman komunis, konfrontasi dengan Indonesia dan peristiwa 13 Mei 1969. Pada waktu itu, setiap anggota dalam Kor tersebut merupakan campuran pelbagai bangsa serta agama dan mempunyai semangat perpaduan yang amat tinggi untuk bersatu padu, bukan sahaja dalam melaksanakan tugasan, malah saling membantu antara satu sama dengan yang lain setiap masa walaupun di luar tugasan hakiki.\nDemikian titah Tuanku Syed Sirajuddin ketika berkenan menerima sembah mengadap hormat oleh Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara,di Balai Menghadap Biru Istana Arau. Berangkat sama ialah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis. Turut hadir ialah Datuk Indera Noridah Abdul Rahim, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, dan Datuk Kamarul Bahrin A. Kassim, Ketua Pengarah Muzium Malaysia.\nTuanku Syed Sirajuddin turut menasihatkan semua pihak tidak kira asal usul, latar belakang dan status tertentu haruslah sentiasa berusaha untuk saling memahami antara satu sama dengan yang lain dan\u00a0 mengenali latar belakang semua kaum bagi menyemai semangat perpaduan yang tinggi untuk lebih bertoleransi.\nTuanku Raja Perlis juga berkongsi kata-kata Presiden Itali kepada baginda ketika baginda menjadi\u00a0 Yang Di-Pertuan Agong dahulu, di mana Presiden Itali sendiri memaklumkan pada baginda bahawa mereka amat kagum dengan semangat perpaduan yang tinggi di Malaysia yang meliputi pelbagai kaum dan agama boleh menjalani kehidupan harmoni\u00a0 dan turut melihat negara Malaysia menjadi satu contoh model yang baik sebagai \u201cMini United Nations\u201c." "Cik Moon Datang Memanfaatkan Ketidakselesaan dalam Ruang Liminal\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Drama bergenre seram sudah menjadi kebiasaan buat Azril Suhaili sewaktu beliau mula menulis naskhah drama pentas. \u201cDahulu saya sebenarnya selalu menulis cerita seram. Genre itu seolah-olah forte saya. Mungkin sebab saya sudah kurang aktif menulis, justeru pementasan kali ini seolah-olah titik kembali saya untuk menulis drama seram,\u201d ujar Azril Suhaili.\nKini Azril Suhaili menggalas tanggungjawab sebagai pengarah dan penulis teater Cik Moon Datang setelah karyanya yang bertajuk Jajahan Chow Kit telah dipentaskan di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur pada November tahun lalu yang merupakan hasil olahan daripada drama Muzikal Sudirmania karya Khairunazwan Rodzy.\nCik Moon Datang mengangkat konsep ruang ambang atau liminal space untuk memainkan peranan watak-watak dalam sebuah produksi teater yang terampuh dengan gangguan halus ketika cuba untuk mementaskan sebuah teater.\nCik Moon Datang merupakan sebuah teater bergenre seram yang mengetengahkan legenda dan misteri Ulek Mayang dalam kegiatan seni pementasan kontemporari, di samping turut memaparkan babak-babak yang mengandungi unsur dan mimik tarian tradisional itu.\nMenurut Azril Suhaili, beliau melihat ruang ambang sebagai wadah yang berkesan untuk menyampaikan perasaan dan emosi sebenar kepada para penonton. Selain itu, apabila mengarang karya-karya seram, pendekatan tersebut lebih utama dijadikan sebagai pilihan.\n\u201cRuang liminal dikaitkan dengan ruang yang mengundang perasaan tidak selesa. Maka itu, ketidakselesaan penonton menjadi matlamat saya pada malam ini. Saya mahu state of mind penonton berasa tidak selesa secara emosi,\u201d jelas Azril Suhaili. Selain garapan cerita, turut menjadi fokus adalah tatasinografi yang dipertanggungjawabkan kepada Zaki Hamidun untuk melaksanakan konsep ruang liminal tersebut.\nTeater Cik Moon Datang dibarisi oleh para pelakon yang lazim dalam ranah teater kontemporari seperti watak Cik Moon yang merubah nuansa pentas dilakonkan oleh Sara Sulaiman. Manakala Hazirah Norizan pula sebagai Noh, Andika Azhar sebagai Sam, Qie Rahman sebagai Koci, Akmal Sulaiman sebagai Kobis, Rashid Akmal sebagai Que dan Wafiq Qusyairi sebagai Aizat. Antara keistimewaan dalam pementasan teater Cik Moon Datang adalah himpunan warna-warni ragam watak-wataknya.\nKini teater Cik Moon Datang sedang dipentaskan di Revolution Stage, Petaling Jaya di bawah produksi teater Parallact Art. Parallact Art yang merupakan sebuah kolektif seni dengan para ahlinya terdiri daripada bekas-bekas pelakon dan penuntut bengkel lakonan Revolution Stage yang kini kembali mementaskan teater sebuah karya asli di Revolution Stage.\nTeater Cik Moon Datang akan dipersembahkan untuk khalayak ramai selama 5 hari, bermula dari 11 hingga 15 Januari 2023. Para peminat dan masyarakat boleh membeli tiket teater menerusi laman Instagram https://www.instagram.com/parallactart/" "Kompleks Kraf Melaka Melestarikan Pelancongan dan Kraf Tangan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAyer Keroh \u2013 Yang Berhormat (YB) Dato\u2019 Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkunjung ke Kompleks Kraf Melaka, Ayer Keroh, Melaka bersempena lawatan beliau ke negeri Melaka pada hari ini. Turut hadir mengiringi beliau ialah Yang Berbahagia Datuk Hajah Saraya Arbi, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Yang Berbahagia Datuk Mohd Zamri Mat Zain, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC.\nKetibaan rombongan lawatan tersebut disambut oleh Yang Berusaha Puan \u2018Ainu Sham Haji Ramli, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, barisan pengurusan tertinggi Kraftangan Malaysia dan Puan Nur Ithnani Ilyana Alias, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Melaka.\nSeterusnya, YB Dato\u2019 Sri Tiong King Sing dibawa melawat sekitar Kompleks Kraf Melaka yang merupakan destinasi pusat pelancongan domestik dan antarabangsa. Di samping itu, turut diadakan aktiviti demonstrasi kraf, Makmal Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) Anyaman Rotan dan Batik Clay, Pameran Produk Adiguru Kraf (Galeri Kraf Warisan), Pusat Jualan Kraf KARYANEKA dan pertunjukan permainan gasing pangkah negeri Melaka.\nAyuh semua. Mari berkunjung ke Kompleks Kraf Melaka yang merupakan pusat kraf setempat!" "Pameran Once Upon A Longtang: Karya Seni Urbanisasi yang Penuh Tradisi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Siri ketiga Pameran Hanya Satu \u2013 Single di Balai Seni Negara diteruskan dengan karya terbaharu oleh Red Hong Yi, iaitu \u201cOnce Upon A Longtang\u201d. Pameran ini telah bermula dari 22 Disember 2022 dan bakal berlangsung sehingga 22 Mac tahun ini selaras dengan sambutan Tahun Baharu Cina.\nOnce Upon A Longtang merupakan sebuah karya yang memfokuskan tentang sesuatu yang tidak kekal, tradisi dan urbanisasi. Karya ini dirujuk menerusi memori peribadi rakaman foto beliau semasa menetap di Longtang, Shanghai, China bersama-sama datuk dan nenek saudaranya.\nKarya Once Upon A Longtang ini mengandungi lapan karya seni yang telah dihasilkan dengan kertas kaligrafi merah terbakar yang merupakan bahan baharu yang menjadi permulaan karya ini.\nMenurut Red Hong Yi, beliau menggunakan pakaian-pakaian lama, batang-batang buluh serta kaligrafi merah sebagai bahan utama untuk menghasilkan karya Once Upon A Longtang. Tambah beliau lagi, pakaian merupakan satu simbol kehidupan dan petunjuk tentang jenis penduduk yang tinggal dalam ruang-ruang sebegini.\n\u201cPakaian-pakaian lama ini menyentuh tentang kawasan-kawasan perumahan yang mungkin terlepas dari pandangan sewaktu berjalannya usaha-usaha perkembangan bandar dan kota,\u201d ujar Red Hong Yi.\nDi samping itu, Balai Seni Negara turut menganjurkan bicara sembang karya dengan menampilkan Red Hong Yi sebagai panel jemputan bagi bersama-sama menelusuri lorong memori silam dan menghayati karya Once Upon A Longtang.\nOrang ramai boleh mengunjungi pameran ini di ruangan lobi utama bangunan galeri Balai Seni Negara dan melayari laman sesawang www.artgallery.gov.my atau mengikuti media sosial rasminya bagi mengetahui maklumat lanjut mengenai pameran ini." "Bicara Seni 2023 Mengupas Seni Muzik Indie\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Muzik Indie merupakan salah satu subbudaya dalam masyarakat Malaysia. Pelbagai isu boleh dikupas mengenai muzik Indie dan komunitinya. Menurut Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Dr. Shafa\u2019atussara Silahudin, komuniti muzik Indie tidak mengira kaum dan kedudukan. Moto bagi komuniti Indie ialah lakukan sendiri atau do it yourself.\nTambah Dr. Shafa\u2019atussara lagi, komuniti muzik Indie yang berpegang pada moto ini memperlihatkan kreativiti kerja mereka yang perlu diberikan perhatian. Selain itu, mereka sentiasa optimis dan mencari peluang untuk sentiasa melangkah ke hadapan bersama dengan muzik mereka.\n\u201cKejayaan yang diraih oleh kumpulan muzik Indie seperti Sekumpulan Orang Gila atau lebih dikenali sebagai SOG yang berjaya memenangi Anugerah Juara Lagu ke-36 pada tahun 2021 menerusi lagu Pelukan Angkasa yang menampilkan Shila Amzah, telah memberi inspirasi kepada anak-anak muda untuk terus maju ke hadapan meskipun terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi,\u201d ujar Dr. Shafa\u2019atussara.\nMuzik indie atau independence (bebas) pada asalnya merupakan muzik bawah tanah (underground). Walau bagaimanapun, kini Indie berada dalam aliran muzik arus perdana dalam Malaysia. Muzik Indie Malaysia bukan sahaja diminati dalam kalangan warga Malaysia, bahkan meliputi seluruh dunia. Dengan penggunaan teknologi seperti YouTube dan Sportify, muzik Indie Malaysia dapat didengar oleh peminat-peminat seluruh dunia.\nKonsep Bicara Seni 2023 anjuran Jabatan Sosio-Budaya dan Kesenian Melayu, Akademi Pengajian Melayu, UM ialah bebas berkarya. Sebagai pengerusinya, Dr. Shafa\u2019atussara telah memilih dan mengetengahkan muzik Indie. Acara yang diadakan bersempena dengan Festival Ruang Seni pada 12 hingga 13 Januari 2023 lalu di Akademi Pengajian Melayu, UM membincangkan tajuk Muzik Indie: Komuniti Kreatif, Cabaran dan Masa Depan.\nBerlangsung di Dewan Semarak, Akademi Pengajian Melayu, UM pada 12 Januari 2023 lalu, Bicara Seni 2023 menampilkan dua panel merangkumi pengurus artis dan acara serta penganjur industri konsert terkenal, iaitu Jennifer Thompson serta komposer, penulis lirik dan penyanyi kumpulan SOG, Raja Nazrin Shah Raja Azaham. Manakala Dr. Shafa\u2019atussara yang merupakan Biduan Syair ASEAN bertindak sebagai pemudah cara.\nMengulas mengenai tanggapan negatif masyarakat tentang muzik Indie termasuklah peminat muzik sejak sekian lama, Raja Nazrin Shah menegaskan bahawa anak muda yang terlibat dengan muzik Indie merupakan golongan yang terpelajar. Justeru, mereka tahu dan sedar apakah sebab mereka memilih dan meminati muzik Indie.\nBerbicara tentang cara-cara mengatasi tanggapan negatif, Raja Nazrin Shah menyatakan bahawa kesabaran merupakan elemen yang sangat penting di samping terus berusaha memenangi hati masyarakat. Namun begitu, beliau berasa bertuah kerana keluarganya merestui beliau menceburi bidang muzik Indie. Dalam hal ini, Raja Nazrin Shah menyatakan kekaguman beliau terhadap kecekalan para pemuzik Indie yang keseorangan atau tidak mendapat sokongan keluarga.\n\u201cDalam soal Do It Yourself, para pemuzik Indie sememangnya melakukan semua perkara secara bersendirian dan menggunakan apa-apa sahaja kemudahan peralatan yang ada. Sebagai contoh, bilik tidur boleh dijadikan sebagai studio rakaman. Bagi mendapatkan penyokong atau peminat pada peringkat awal, pemuzik Indie boleh mendapatkan sokongan daripada ahli keluarga, saudara-mara, rakan-rakan serta menerusi promosi dalam platform media sosial,\u201d jelas Raja Nazrin Shah yang mencipta karya Pelukan Angkasa.\nJeniffer pula menyatakan bahawa tiada masalah jika para pemuzik Indie menghasilkan lagu dan karya dalam bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, untuk mendapat sambutan yang baik dan menggalakkan dalam pasaran di Malaysia, mereka perlu menghasilkan lagu yang unik dalam bahasa Melayu." "Membentuk Seni Persembahan sebagai Kerjaya Anak Muda\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTanjong Malim \u2013 Perjalanan anak muda dalam arena seni persembahan perlu bersaing bagi menonjolkan bakat mereka supaya dapat bertahan dalam industri seni. Penulis mendapat peluang menemu bual Faizal Ruhaijat yang dapat memberi inspirasi kepada anak muda dalam bidang seni persembahan terutamanya kepada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).\nFaizal Ruhaijat merupakan mahasiswa dalam bidang seni persembahan teater yang mempunyai semangat luar biasa terhadap kerjaya seni. Pada 14 Januari 2023, Faizal bersama-sama produksi Thespian Resources dan produksi Pleiades telah menjayakan Tayangan Perdana Kasam (Sesi Ramah Mesra) selepas berjaya merangkul Juara Anugerah Kesan Khas Terbaik dan Juara Sinematografi Terbaik dalam Festival Filem Pelajar Malaysia ke-13 yang diadakan di UPSI.\nFaizal Ruhaijat turut berkongsi kisah mereka yang menggunakan bajet yang kecil sekitar RM900 ketika melakukan rakaman bertempat di Johor. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran ketika melakukan rakaman, namun pengalaman berharga tersebut pasti akan dikenang sampai bila-bila.\nMatlamat filem Kasam ingin membawa mesej kepada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) supaya memberi perhatian dalam aspek mental dan rohani kepada suku kaum orang Asli di Malaysia. Faizal Ruhaijat dan ahli produksi sangat berpuas hati dengan kejayaan mereka menggondol dua anugerah dan tempat kelima terbaik dalam lima kategori anugerah yang lain.\nKejayaan Faizal Ruhaijat sebelum ini yang berjaya merangkul Juara Taikun Muda anjuran TV Al-Hijrah bagi program keusahawanan turut membawa personaliti menarik kerana minat dalam seni persembahan tidak menghalang beliau untuk terlibat dalam keusahawanan sebagai nilai tambah membina kerjaya pada masa akan datang. Semoga inspirasi anak muda ini menjadi pemangkin kepada para mahasiswa seni persembahan agar aktif melibatkan diri dalam program anjuran universiti dan di luar universiti." "Ponggal: Lambang Kekayaan Budaya Masyarakat India\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPonggal merupakan suatu perayaan purba masyarakat India yang disambut sejak zaman Sangam (tempoh sejarah\u00a0purba Tamil Nadu, Kerala dan bahagian Sri Lanka yang pada masa itu dikenali sebagai Tamilagam yang merangkumi abad ke-6 Sebelum Masihi hingga abad ke-3 Masihi). Menurut pandangan beberapa ahli sejarah, Ponggal disambut sebagai \u201cThai Neeraadal\u201d semasa zaman Sangam dan terdapat beberapa kepercayaan di sebalik perayaan Ponggal yang mendapat nama julukan sebagai \u201cThai Neeradal\u201d.\nPada zaman Sangam, iaitu sewaktu bulan Thai, beberapa amalan berdoa yang khusus akan dilakukan oleh masyarakat India. Antaranya termasuklah anak dara mendoakan supaya mendapat suami yang soleh serta isteri mendoakan agar suami mereka dikurniakan umur yang panjang dan kehidupan yang baik. Berdasarkan doa-doa tersebut, mereka akan bangun pada awal pagi, mandi dan berpuasa. Oleh sebab itu, Ponggal dipanggil atau digelar sebagai \u201cThai Neeradal\u201c. Secara keseluruhannya, istilah \u201cThai\u201d menggambarkan bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil, manakala istilah \u201cNeeradal\u201d pula bermaksud mandi.\nBulan Margazhi pula merujuk kepada bulan kesembilan dalam kalendar Tamil dan bulan Thai merupakan musim sejuk berdasarkan kalendar Tamil. Menurut kepercayaan masyarakat India pada zaman dahulu, mandi dalam air sejuk yang membeku dalam bulan Margazhi dan bulan Thai adalah suatu pengalaman yang indah dan dipercayai bahawa dengan berbuat demikian, mereka akan berasa seolah-olah sedang melakukan amal taubat selaras dengan alam.\nDi samping itu, satu daripada kepercayaan dalam masyarakat India juga ialah seseorang yang mengamalkan \u201cThai Neeradal\u201c yang juga dikenali sebagai Paavai Nonbu (bermaksud puasa orang perempuan) akan mendapat jodoh suami yang ideal menepati ciri-ciri yang diidam-idamkan.\nSelain itu, sejarah kemunculan istilah \u201cThai Neeradal\u201d turut berkait rapat dengan banyak cerita dalam kesusasteraan Sangha. Antaranya termasuklah kisah tentang wanita-wanita muda yang membuat patung berupa wanita yang cantik di atas pasir dan bermain dengan kalungan bunga pada patung tersebut. Mereka bermain di tempat-tempat berpasir dan di tebing sungai serta turut memandikan patung tersebut semasa mereka sedang mandi.\nPonggal merupakan suatu perayaan masyarakat India yang melambangkan tanda kesyukuran kepada Dewa Matahari (Suryabhagawan) yang memberkati sepanjang proses pertanian padi. Perayaan Ponggal disambut oleh semua masyarakat India di seluruh dunia pada awal bulan Thai dan kebiasaannya jatuh pada tanggal 14 Januari setiap tahun. Pada asasnya, Ponggal merupakan perayaan menuai dan satu-satunya perayaan yang mengikuti kalendar Suria. Secara tradisinya, masyarakat India mengikuti kalendar Suria sebagai kalendar utama mereka.\nSehubungan dengan itu, perayaan Ponggal menandakan pergerakan matahari ke arah utara untuk tempoh enam bulan sebelum memasuki fasa zodiak Capricorn (Magaram). Keadaan tersebut dipercayai mendatangkan tuah kepada manusia berbanding dengan pergerakan matahari ke arah selatan. Perayaan Ponggal di India disambut di Tamil Nadu, Karnataka, Kerala, Andhra Pradesh dan Telangana, manakala negara lain yang turut meraikan perayaan Ponggal termasuklah Sri Lanka, Singapura, Amerika Syarikat, Malaysia dan sebagainya.\nPonggal dalam bahasa Melayu bererti melimpah-ruah yang merujuk kepada susu lembu yang melimpah apabila dipanaskan dalam periuk belanga tanah liat yang melambangkan kekayaan yang melimpah ruah. Perayaan Ponggal yang dijulang sebagai hari petani disambut selama empat hari bermula dengan sambutan Bhogi dan diikuti oleh Thai Ponggal, Maatu Ponggal dan seterusnya Kaanum Ponggal.\nPerayaan Bhogi disambut pada hari terakhir bulan Margazhi, iaitu hari pertama perayaan Ponggal. Secara turun-temurun, perayaan Bhogi disambut pada awal pagi sebelum matahari terbit. Perayaan Bhogi merupakan adat dan tradisi mengeluarkan yang lama dan mendatangkan yang baharu seperti amalan membuang atau membakar barang-barang lama yang tidak berguna semasa sambutan Bhogi. Selain itu, perayaan Bhogi juga bertujuan untuk membuang niat yang negatif dan jahat dalam fikiran dan hati manusia.\nThai Ponggal disambut pada hari pertama bulan Thai. Ucapan \u201cThai Pirandhal Vazhi Pirakkum\u201c yang bererti \u201cpermulaan Thai membuka peluang baharu\u201c sering diucapkan dan berkait rapat dengan perayaan hari Thai Ponggal. Bagi meraikan hari pertama perayaan ini, masyarakat India membeli periuk belanga tanah liat yang baharu dan mengikat kunyit segar pada periuk tersebut di samping menghiaskan halaman rumah dengan Kolam yang berwarna-warni.\nRentetan itu, masyarakat India dan keluarga dengan berpakaian serba baharu akan meletakkan dapur kayu api baharu di halaman rumah dan beras baharu dimasukkan ke dalam periuk tersebut untuk menghasilkan makanan yang bernama \u201cPonggal\u201d. Apabila susu mendidih dan melimpah keluar, ahli keluarga akan berkumpul di sekitar periuk dan melaungkan ucapan \u201cPonggalo Ponggal\u201d sebanyak tiga kali diikuti nasi dan gula dimasukkan ke dalam periuk tersebut. Ponggal yang telah siap dimasak akan dipersembahkan kepada Dewa Matahari (Surya) sebelum menjamu selera.\nSelepas hari Thai Ponggal merupakan hari Maatu Ponggal yang juga dikenali sebagai Patti Ponggal atau Kanru Ponggal. Perayaan ini disambut untuk berterima kasih kepada ternakan lembu yang membantu dalam proses pertanian padi dan juga memberi susu untuk keperluan manusia. Pada hari Maatu Ponggal, kandang lembu dibersihkan, lembu dimandikan dan tanduknya diwarnakan, kalung bunga dikalungkan pada leher lembu serta lembu tersebut disembah di samping Ponggal dibuat di kandang lembu.\nMaatu Ponggal mempunyai sejarah yang menakjubkan selain menjadi hari istimewa dalam bulan Thai. Berdasarkan Purana yang merupakan kesusasteraan Hindu, Dewa Shiva pernah menurunkan lembu jantannya, iaitu Basava ke bumi dan menyuruhnya menyampaikan pesanan kepada rakyat jelata supaya makan hanya sebulan sekali dan mandi minyak pada setiap hari.\nWalau bagaimanapun, Basava tersilap mengisytiharkan bahawa setiap orang perlu mandi minyak hanya sebulan sekali dan makan pada setiap hari. Dewa Shiva yang menjadi murka dengan sikap cuai Basava menyumpahnya untuk hidup selama-lamanya di bumi. Basava yang menetap di bumi ditugaskan untuk membantu orang ramai menghasilkan lebih banyak makanan dan hal tersebut menjadikan lembu masih digunakan untuk pertanian hingga kini.\nHari ketiga Ponggal pula digelar sebagai Kanni Ponggal atau Kaanum Ponggal. Kanni merujuk kepada \u201cgadis dara\u201d dan sambutan Kanni Ponggal melambangkan kesuburan. Di beberapa bahagian luar bandar dan kampung, para petani berdoa kepada Saptha Kannimaar (tujuh dewi dara) dengan kepercayaan bahawa mereka akan memberkati tanah pertanian menjadi subur.\nRentetan kepercayaan itu, gadis-gadis dara yang belum berkahwin diberi penghormatan sebagai Saptha Kannimaar pada hari tersebut dan akan dihadiahkan pakaian dan perhiasan. Mereka akan dilayan seperti puteri pada hari Kanni Ponggal dan hal ini juga membuka peluang kepada keluarga untuk mencari bakal suami yang terbaik untuk perempuan tersebut. Manakala anak dara pula akan berdoa pada hari Kanni Ponggal agar mendapat suami yang soleh. Seiring dengan perubahan zaman, Kanni Ponggal berubah menjadi Kaanum Ponggal, iaitu kaum India melawat saudara-mara mereka dan berkongsi kasih sayang dan makanan mereka. Kini, Kanni Ponggal masih lagi disambut dan diraikan di beberapa wilayah di India.\nDi India, banyak pertandingan diadakan bersempena hari perayaan Ponggal seperti pertandingan melukis Kolam, uri adithal (pertandingan seseorang ditutup matanya dan perlu memecahkan periuk belanga dengan kayu panjang), pertandingan memanjat pokok dan lain-lain lagi. Secara keseluruhannya, tujuan dan matlamat perayaan Ponggal ialah memberi rehat kepada para pesawah, ternakan dan semua rakyat supaya mereka dapat bergembira serta sebagai peluang untuk gadis dan jejaka untuk bertemu bagi mencari dan memilih pasangan hidup mereka." "Webinar YTF Meraikan Kemeriahan Sambutan Tahun Baharu Cina\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mencemar duli merasmikan pembukaan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) yang bertajuk \u201cSharing the Joy of the Rabbit Chinese New Year 2023\u201d yang dianjurkan oleh Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dengan kerjasama YTF menerusi platform Zoom pada pagi tadi.\n\u201cMalaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum dengan terdapat kepelbagaian etnik, bahasa dan agama serta masih mengekalkan dan mempraktikkan adat dan budaya yang diwarisi daripada warisan nenek moyang masing-masing. Sehubungan dengan itu, masyarakat Malaysia terus mempamerkan pelbagai gaya hidup, kepercayaan, budaya dan sambutan yang berbeza-beza.\nTahun Baharu Cina merupakan satu perayaan yang mengetengahkan beberapa aspek keunikan budaya dan tradisi kaum Cina. Perayaan yang disambut oleh kaum Cina ini juga merupakan masa yang terbaik untuk semua ahli keluarga berkumpul bersama-sama bagi mengeratkan ikatan persaudaraan di samping bermain bunga api dan mercun, menghayati tarian Singa, menikmati buah limau Mandarin serta memberi dan menerima angpau, yakni wang dalam sampul kecil yang diberikan sebagai hadiah, sumbangan atau pemberian pada hari atau majlis tertentu, terutamanya pada hari Tahun Baru Cina,\u201c titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merupakan Penasihat Diraja YTF berasa amat teruja apabila menjadi sebahagian daripada Webinar YTF pada kali ini yang bertujuan untuk belajar dengan lebih mendalam tentang sambutan Tahun Baharu Cina di negeri dan negara kita. Baginda juga menjangkakan bahawa sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini bakal menjadi sambutan yang terbesar dan paling meriah buat kaum Cina di Malaysia dan juga di seluruh dunia.\nDalam majlis yang sama, Presiden UTAR, Profesor Dato\u2019 Ir. Dr. Ewe Hong Tat menyampaikan kata alu-aluan sebelum webinar yang dikendalikan oleh Ahli Pemegang Amanah YTF, Tan Sri Dato\u2019 Sri Dr. Ng Yen Yen bermula.\nWebinar \u201cSharing the Joy of the Rabbit Chinese New Year 2023\u201d menampilkan barisan enam orang panel, iaitu Profesor Madya Dr. Cheah Phaik Kin, Profesor Dato\u2019 Dr. See Ching Mey, Profesor Dr. Wu Ming Chu, Profesor Ts. Dr. Lim Yang Mooi, Cik Foo Mei Lee dan Cik Kor Eng Choon.\nMajlis penutupan webinar tersebut disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merupakan Pengerusi YTF." "Nihon Matsuri:\u00a0Bagaikan Berada di Jepun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSintok \u2013 Manis mengenakan yukata sambil memegang payung sakura berwarna merah jambu, menikmati hidangan sushi dan mengasah bakat membuat origami, kirigami dan bermain kendama. Peluang mencuba permainan tradisional, melihat pameran kebudayaan, menonton tayangan filem Jepun, berjalan-jalan di gerai jualan serta menikmati aroma masakan autentik Jepun membuatkan hati berasa bagaikan berada di negara \u201cmatahari terbit\u201d.\nItulah perasaan yang dialami oleh para pengunjung Festival Jepun atau Nihon Matsuri yang berlangsung buat pertama kalinya di Ruang Legar Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Universiti Utara Malaysia (UUM) bermula pada 14 hingga 16 Januari 2023.\nAcara kebudayaan ini merupakan kerjasama antara Japan Foundation Kuala Lumpur (JFKL), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Muzium Pengurusan UUM, Pusat Budaya dan Seni serta Japanese Language and Cultural Club UUM yang bertujuan untuk memberikan pengalaman mengenali budaya Jepun kepada warga UUM dan masyarakat sekitar.\nPengunjung yang juga pelajar Sarjana Muda Pengurusan Acara, Mustika Misnari berkata, pesta kebudayaan seumpama ini mendapat sambutan meriah dan menarik perhatian warga kampus serta masyarakat setempat termasuklah pelajar sekolah dan institusi pendidikan tinggi di sekitar negeri Kedah.\n\u201cNihon Matsuri memang seronok, saya dapat belajar banyak perkara tentang budaya dan cara hidup masyarakat Jepun dari aspek pemakanan, permainan, pakaian, kaligrafi, dan bahasa,\u201d ujar Mustika Misnari yang hadir bersama-sama rakannya melawat reruai Nihon Matsuri. Matanya tertarik pada gerai pakaian tradisional Jepun, yukata yang biasanya dipakai pada musim panas.\n\u201cPada awalnya saya menjangkakan pakaian kimono. Sekilas pandang nampak seperti kimono, namun rupa-rupanya ialah yukata. Saya sangat teruja melihat cara orang Jepun berpakaian yukata dan bertambah teruja apabila berpeluang memakainya serta kelihatan sungguh cantik dan sopan,\u201d kongsi Mustika Misnari.\nYukata merupakan pakaian tradisional Jepun yang diperbuat daripada fabrik seperti kapas. Fabriknya yang tipis dan hanya selapis sesuai dipakai pada musim panas. Hal ini berbeza dengan kimono yang berlapis-lapis dan diserikan dengan obi berupa kain pengikat pinggang yang menjadikan penampilannya sangat menarik.\nDalam festival yang sama, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah selaku Naib Canselor UUM berkata, Dasar Pandang ke Timur yang telah diperkenalkan oleh kerajaan yang bertujuan untuk meningkatkan prestasi dan etika kerja di Malaysia masih relevan hingga hari ini. Bahkan, dasar tersebut harus kekal sebagai asas kepada strategi dan usaha memacu negara ke hadapan.\n\u201cTahun 2022 menandakan genap 40 tahun Dasar Pandang ke Timur sejak diperkenalkan pada tahun 1982. Banyak pencapaian dalam bidang ekonomi dan sosial telah berjaya dicapai menerusi pelbagai kerjasama yang diwujudkan antara Malaysia dan Jepun.\nDi samping itu, menerusi Dasar Pandang ke Timur juga telah membuka jalan dan peluang kolaborasi antara Malaysia dengan Jepun yang meliputi pelbagai bidang termasuklah bidang pendidikan. Kesannya, kita berjaya menghantar pelajar, ahli akademik dan pegawai kerajaan ke Jepun untuk menimba ilmu dan pengalaman yang boleh dibawa pulang untuk diterapkan di Malaysia,\u201d ucap Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah sewaktu menyempurnakan perasmian Nihon Matsuri.\nTambah beliau lagi, Nihon Matsuri menjadi permulaan kepada kerjasama berterusan yang akan meningkatkan hubungan baik antara Jepun dan UUM pada masa hadapan selain menyatakan komitmen UUM untuk mengembangkan lagi hubungan kerjasama ini.\nManakala menurut Konsul\u2013General Jepun di Pulau Pinang, Kawaguchi Yoshiyasu, program seperti ini mampu memberi pendedahan kepada warga UUM tentang penerapan budaya dan nilai positif serta etika masyarakat Jepun yang menjadi tunjang kepada Dasar Pandang ke Timur.\nBeliau berasa bangga dan berbesar hati kerana Nihon Matsuri mendapat sambutan yang menggalakkan dan berjaya menarik minat para pengunjung sebagai satu daripada usaha untuk merapatkan lagi hubungan antara Jepun dan Malaysia.\n\u201cNihon Matsuri mempromosikan budaya Jepun dalam kalangan warga kampus UUM dan rakyat Malaysia selain menggalakkan lagi pertukaran budaya antara Jepun dan Malaysia. Saya berharap agar Nihon Matsuri bukan sekadar sambutan merayakan kejayaan lalu dalam Dasar Pandang ke Timur, bahkan menjadi asas baharu bagi memahami dan\u00a0menjadi nilai tambah kepada kerjasama antara dua negara pada masa hadapan,\u201d ujar Kawaguchi Yoshiyasu." "Tahun Baharu Cina 2023 Mengeratkan Perpaduan Rakyat Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan mencemar duli menyempurnakan penutupan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) yang bertajuk \u201cSharing the Joy of the Rabbit Chinese New Year 2023\u201d yang dianjurkan oleh Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dengan kerjasama YTF menerusi platform Zoom pada petang semalam.\n\u201cSambutan Tahun Baharu Cina merupakan sambutan yang amat penting bagi komuniti berbangsa Cina di Malaysia. Di samping itu, sambutan ini menjadi sebuah platform untuk saudara-mara dan sahabat handai untuk berkumpul bersama-sama dan saling mendoakan kesejahteraan masing-masing untuk tahun-tahun yang mendatang.\nTambahan pula, matlamat sambutan Tahun Baharu Cina juga adalah untuk melupakan perkara-perkara yang sudah berlalu serta untuk mengalu-alukan perkara-perkara yang baik, positif dan baharu.\nBagi masyarakat Cina, Tahun Baharu Cina juga merupakan tempoh masa untuk memperingati nenek moyang mereka serta saling mendoakan kesejahteraan hidup dan dimurahkan rezeki masing-masing,\u201d titah DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.\nDYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merupakan Pengerusi YTF turut bertitah bahawa webinar \u201cSharing the Joy of the Rabbit Chinese New Year 2023\u201d ini berjaya memainkan peranan sebagai sebuah platform yang terbaik untuk mengukuhkan dan mengeratkan hubungan masyarakat yang berbilang bangsa, agama dan budaya\u00a0di negara ini.\nWebinar \u201cSharing the Joy of the Rabbit Chinese New Year 2023\u201d menampilkan barisan enam orang panel, iaitu Profesor Madya Dr. Cheah Phaik Kin, Profesor Dato\u2019 Dr. See Ching Mey, Profesor Dr. Wu Ming Chu, Profesor Ts. Dr. Lim Yang Mooi, Cik Foo Mei Lee dan Cik Kor Eng Choon. Manakala Ahli Pemegang Amanah Yayasan Tuanku Fauziah, Tan Sri Dato\u2019 Sri Prof Dr. Ng Yen Yen bertindak selaku moderator webinar dan Presiden UTAR, Profesor Dato\u2019 Ir. Dr. Ewe Hong Tat menyampaikan kata alu-aluan sebelum webinar bermula.\nMajlis perasmian pembukaan webinar tersebut disempurnakan oleh DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merupakan Penasihat Diraja YTF pada awal pagi semalam.\nDi samping itu, rakyat Perlis dijemput secara beramai-ramai untuk menghadiri Karnival Pekan Lama Arau sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang diadakan selama tiga hari bermula pada 18 hingga 20 Januari 2023 pukul 7 hingga 11 malam.\nProgram yang dilaksanakan dalam kawasan Projek Diraja Transformasi Komuniti Pekan Lama Kota Raja Arau itu dianjurkan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perlis dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)." "Kuat Kuasakan Undang-undang bagi Kesalahan Bahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBANGI \u2212 Bahasa kebangsaan sebagai bahasa mahkamah telah termaktub dalam undang-undang negara. Menurut Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, segala prosiding (selain pemberian keterangan oleh seseorang saksi) dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau mana-mana Mahkamah Rendah hendaklah dalam bahasa kebangsaan. Sehubungan dengan itu, dalam usaha memartabatkan dan memperkasakan bahasa kebangsaan, undang-undang sedia ada perlu dikaji semula dan ditambah baik bagi memastikan hasrat dan niat dalam memartabatkan bahasa kebangsaan tercapai.\nMenurut Profesor Madya Dr. Ramalinggan Rajamanickam, iaitu Pensyarah Kanan dari Fakulti Undang-undang dan Felo Bersekutu Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), undang-undang yang dikanunkan perlu dikuatkuasakan dengan sewajarnya. Peruntukan hukuman perlu dimasukkan dalam undang-undang seperti dalam isu kedudukan bahasa kebangsaan yang diabaikan dan tidak diutamakan oleh masyarakat. Perbuatan seperti menghina, memperlekehkan dan memperkecilkan kewibawaan bahasa kebangsaan juga perlu dijadikan sebagai satu kesalahan.\nSelain itu, kuasa budi bicara yang dinyatakan dalam undang-undang juga perlu dikaji semula kesesuaiannya pada masa ini. Pengecualian yang diberi kepada Sabah dan Sarawak dalam konteks penggunaan bahasa kebangsaan juga harus mempunyai suatu tempoh masa tertentu.\nUndang-undang juga perlu memastikan bahawa mutu atau kualiti penggunaan bahasa kebangsaan diutamakan penyampaiannya dalam masyarakat.\n\u201cSemua masyarakat perlu cakna untuk membaiki mutu bahasa Melayu ke tahap yang lebih baik dari semasa ke semasa. Pepatah Melayu ada menyatakan bahawa hilang bahasa, maka lenyaplah bangsa. Oleh itu, semua orang bertanggungjawab untuk memastikan bahasa kebangsaan dimartabatkan dan diperkasakan. Kepimpinan negara dan institusi perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan kedudukan bahasa kebangsaan lebih jelas dan terpelihara dalam kerangka undang-undang Malaysia. Selain, itu, undang-undang tersebut juga perlu ditambah baik dari semasa ke semasa untuk memperkukuh kedudukan bahasa kebangsaan di Malaysia,\u201c ujar beliau.\nBahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan wadah perpaduan rakyat Malaysia. Bahasa kebangsaan perlu dinilai secara khususnya dalam kerangka undang-undang negara. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan bahasa yang terpelihara dalam kerangka undang-undang di Malaysia. Bahasa kebangsaan juga merupakan identiti bangsa dan sebagai lambang kepada negara Malaysia.\n\u201cLambang\u201d dalam konteks ini bermaksud simbol yang menjadi identiti kepada negara Malaysia. Dalam konteks bahasa Melayu, undang-undang merupakan punca kuasa yang menunjukkan martabat sesuatu bahasa yang diangkat sebagai bahasa kebangsaan dan termaktub dalam undang-undang negara. Oleh itu, dalam konteks Malaysia, bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu. Sehubungan dengan itu, bahasa Melayu perlu didaulatkan dan dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan negara ini.\nPerlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi di Malaysia. Undang-undang ini mempunyai peruntukan khusus yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan. Kedudukan bahasa kebangsaan dalam konteks Perlembagaan Persekutuan ialah dalam Perkara 152, yang memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia\u00a0 ialah bahasa Melayu. Perlembagaan Persekutuan telah mengangkat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.\nTerdapat pelbagai undang-undang yang mempunyai peruntukan tentang bahasa kebangsaan. Yang paling penting (selain Perlembagaan Persekutuan) ialah Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32). Akta ini bagi menyatukan undang-undang yang berhubung dengan penggunaan bahasa kebangsaan dan mengandungi 11 peruntukan sahaja. Dalam peruntukan ini, bahasa kebangsaan sebagai bahasa di Parlimen, bahasa mahkamah dan bahasa rasmi negara.\nDalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi. Maksud rasmi tersebut bererti apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak yang berkaitan dengan Kerajaan. Maka dalam konteks urusan rasmi, sejajar dengan Perkara 152 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, bahasa kebangsaan hendaklah digunakan sebagai bahasa perkhidmatan awam dalam urusan rasmi seperti dalam penulisan surat rasmi, dokumen perjanjian, urusan mesyuarat dan penganjuran majlis.\nSemua sektor kerajaan juga wajib menggunakan bahasa Melayu seperti dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020, yang berkaitan dengan pemerkasaan penggunaan bahasa kebangsaan dalam pentadbiran awam. Pegawai awam dan ketua jabatan bertanggungjawab untuk mematuhi pekeliling ini. Oleh itu, mana-mana pegawai awam yang menggunakan bahasa selain daripada bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi adalah melanggar pekeliling perkhidmatan ini. Menurut pekeliling ini juga, semua pegawai awam wajib melengkapkan dirinya dengan pengetahuan bahasa Melayu yang baik dan betul termasuklah dalam konteks ejaan, sebutan dan penulisan.\nSelain itu, semua institusi pendidikan juga wajib menggunakan bahasa Melayu dan pengecualian hanya melibatkan sesuatu kursus tertentu atau sebahagian kursus tertentu sahaja.\nDemikianlah antara penerangan oleh Profesor Madya Dr. Ramalinggan Rajamanickam, Pensyarah Kanan dari Fakulti Undang-undang dan Felo Bersekutu Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM, semasa menyampaikan ceramah dalam program Wacana ATMA (Bil. 13/2021), iaitu \u201cBahasa Kebangsaan dalam Kerangka Undang-undang Malaysia\u201c, yang bersiaran secara langsung menerusi pautan webex dan Facebook ATMA, UKM, pada pukul 10.00 pagi tadi. Yang turut hadir sebagai moderator ialah Encik Muhammad Muzaffar Mohd Yazid, iaitu pelajar prasiswazah Fakulti Undang-undang, UKM." "Kempen \u201cIni Batik Malaysia\u201d Memartabatkan Batik Tempatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBulan Disember 2022 yang lepas merupakan ulang tahun pertama sambutan Hari Batik Malaysia setelah mantan Perdana Menteri Malaysia, YB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri mengisytiharkan hari sambutannya pada 3 Disember setiap tahun pada tahun lepas. Pemilihan tarikh tersebut adalah sebagai penghargaan terhadap segala sokongan dan usaha isteri mantan Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Allahyarhamah Tun Datin Paduka Seri Endon Mahmood yang memulakan gerakan Malaysia Batik-Crafted for the World untuk membawa industri batik Malaysia ke persada antarabangsa.\nSambutan ini yang berlangsung saban tahun bersama-sama dengan penganjuran kempen \u201cIni Batik Malaysia\u201d dilihat sebagai antara usaha permerkasaan industri kraf batik tempatan di negara kita selain sebagai usaha kerajaan dalam membudayakan pemakaian batik Malaysia dalam kalangan masyarakat.\nBatik merupakan hasil kraf tangan yang mempamerkan budaya sesuatu bangsa menerusi rekaan motif dan warnanya. Perkataan batik dipercayai berasal daripada perkataan Jawa, iaitu \u201cba\u201d dan \u201ctik\u201d yang membawa maksud setitis lilin. Kamus Dewan Edisi Keempat pula mendefinisikan batik sebagai kain bercorak yang dilukis atau dicap dengan lilin dan dicelup.\nManakala menurut Kraftangan Malaysia, batik Malaysia didefinisikan sebagai seni kraf hasil kerja tangan sepenuhnya atau sebahagiannya yang mempunyai motif beridentitikan seni dan budaya masyarakat Malaysia menerusi proses pembuatan batik dengan menggunakan lilin batik atau bahan serta teknik halangan warna bagi menghasilkan reka corak. Batik merupakan antara bidang kraf tangan tradisional yang unik dan istimewa di negara kita selain songket sehingga Majlis Kraf Dunia-Asia Pasifik mengiktiraf batik Malaysia sebagai satu daripada kraf tempatan yang terkenal pada peringkat global.\nKerajaan Malaysia terus berusaha memartabatkan batik sebagai antara produk seni tekstil kraf tangan warisan negara walaupun pihak Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah mengiktiraf batik sebagai warisan tidak ketara milik Indonesia pada tahun 2009. Hal ini kerana batik Malaysia berbeza dengan batik Indonesia sama ada dari segi motif dan corak, peralatan pembuatannya serta warnanya.\nSambutan Hari Batik pada setiap 3 Disember selain penganjuran kempen \u201cIni Batik Malaysia\u201d oleh Kraftangan Malaysia yang telah berlangsung dari bulan Julai tahun lepas merupakan antara usaha proaktif kerajaan dalam usahanya untuk terus memperkenalkan produk batik dalam kalangan masyarakat Malaysia. Kempen ini penting kerana keunikan batik Malaysia kini semakin terancam berikutan terdapat kecenderungan pengusaha dari negara jiran menciplak rekaan dan motif tempatan pada produk keluaran mereka.\nMasyarakat terutamanya generasi muda semakin keliru untuk mengenal pasti batik Malaysia disebabkan lambakan batik dari negara luar seperti Indonesia dan China yang kelihatan seakan-akan sama. Penjualannya secara berleluasa juga boleh mengaburi mata masyarakat dan seterusnya mampu mengancam pemasaran produk batik negara kita.\nMenurut Pengurus Besar Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn. Bhd., Norizmah Mustafa, pihaknya telah mengesan pengusaha batik dari negara seberang khususnya Indonesia yang menciplak corak flora dan abstrak seperti pua kumbu yang merupakan identiti Malaysia. Batik Indonesia lebih terkenal dengan motif fauna selain menerapkan warna tanah seperti coklat dan hitam tetapi kini batik mereka juga berona ceria dan terang seperti batik tempatan kita. Keadaan ini bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat tetapi juga secara langsung menjejaskan pengusaha batik tempatan.\nKempen \u201cIni Batik Malaysia\u201d merupakan inisiatif Kraftangan Malaysia untuk memartabatkan industri kraf batik tempatan selaras dengan pengisytiharan Hari Batik Malaysia dan pemakaian baju batik Malaysia oleh para penjawat awam pada setiap hari Khamis. Kempen ini juga bertujuan untuk memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat mengenai batik Malaysia selain menggalakkan pemakaian batik Malaysia dalam kalangan rakyat negara kita.\nKetua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Saraya Arbi berkata, kempen tersebut telah berjaya meningkatkan kesedaran, kecintaan serta ilmu pengetahuan mengenai produk kraf Malaysia dalam kalangan masyarakat. Kempen tersebut yang diadakan di bangunan kerajaan seperti Parlimen dan kementerian selain pusat membeli-belah terpilih serta lokasi tumpuan pengunjung dilihat berkesan dan membanggakan kerana telah berjaya memperoleh nilai jualan sebanyak RM180 000 di seluruh negara.\nBersempena kempen \u201cIni Batik Malaysia\u201d, Kraftangan Malaysia turut menganjurkan acara Peragaan Fesyen Batik Malaysia yang diadakan bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2022 (MAHA 2022) pada Ogos 2022. Peragaan tersebut yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) menampilkan 48 koleksi baharu fesyen batik yang mengadaptasi konsep agropelancongan dengan kombinasi teknik konvensional dan alternatif menggunakan bahan semula jadi serta bersifat mesra alam.\nPeragaan tersebut mampu memperkenalkan batik Malaysia kepada masyarakat terutamanya kepada para pengunjung MAHA. Di samping itu, Festival Kraf Langkawi 2022 (FKL 2022) yang baru sahaja berakhir pada 27 Disember yang lalu turut mengangkat tema \u201cIni Batik Malaysia\u201d. Menurut Pengarah Kompleks Kraf Langkawi, Muhamad Razib Saruddin, pemilihan tema tersebut bersempena dengan ulang tahun pertama Hari Batik Malaysia. Setiap negara termasuklah Malaysia mempunyai keindahan produk batik yang tersendiri dan semoga FKL 2022 mampu menambah pengetahuan para pengunjungnya mengenai batik tempatan serta keunikan produk-produk kraf yang lain.\nSepanjang penganjuran kempen \u201cIni Batik Malaysia\u201d, pihak Kraftangan Malaysia turut aktif berkongsi maklumat berkaitan batik Malaysia menerusi laman media sosialnya. Antaranya termasuklah perkongsian mengenali ciri-ciri batik Malaysia yang motifnya yang lebih besar dan ringkas dengan warna yang lebih cerah dan susunan cantuman motif tidak seragam, perbezaan antara batik Malaysia dan batik luar negara, penganjuran program borak santai berkaitan perjuangan usahawan kraf dan pereka Kraftangan Malaysia dalam memartabatkan industri kraf batik ke persada dunia bersempena sambutan Hari Malaysia.\nSelain itu, Kraftangan Malaysia turut menjalankan tinjauan berkaitan batik Malaysia dalam kalangan masyarakat Malaysia dan hasil tinjauan yang dilakukan mendapati bahawa masyarakat kita menyokong penuh usaha pihak Kraftangan Malaysia dalam memartabat dan memperkasa industri Batik Malaysia menerusi kempen \u201cIni Batik Malaysia\u201d.\nKempen ini sewajarnya terus disemarakkan agar masyarakat tidak keliru dengan produk batik dari luar negara terutamanya dari negara jiran kita, Indonesia. Hal ini kerana masyarakat terutamanya generasi muda dilihat mempopularkan batik Indonesia dalam pelbagai majlis pada suatu masa dahulu. Tambahan pula, batik Indonesia dihasilkan dengan menggunakan mesin dan dijual dengan harga yang jauh lebih murah berbanding batik tempatan. Oleh hal yang demikian, usaha Kraftangan Malaysia ini amatlah tepat untuk memartabatkan batik Malaysia.\nSokongan dan dokongan kerajaan terutamanya terhadap produk batik tempatan sememangnya amat ditagih. Dalam hal ini, kita boleh mencontohi kerajaan Indonesia apabila para pekerja pejabat di Pejabat Kedutaan Indonesia berpakaian berteraskan batik keluaran mereka, sebaliknya rakyat kita lebih selesa berpakaian mengikut fesyen Barat.\nDi samping itu, Indonesia juga dilihat berjaya mendidik rakyatnya agar mencintai produk batik tempatan mereka kerana sangat sukar melihat masyarakatnya berpakaian batik Malaysia dan hal ini amat berbeza dengan budaya masyarakat kita. Kecintaan masyarakat terhadap batik perlu dipupuk agar seni kraf ini terus hidup dan segar dalam kalangan masyarakat kerana batik merupakan nilai warisan seni budaya masyarakat yang diwarisi sejak zaman-berzaman lagi.\nTuntasnya, kempen \u201cIni Batik Malaysia\u201d yang dilaksanakan oleh pihak Kraftangan Malaysia sememangnya dilihat mampu memartabatkan batik tempatan dalam kalangan masyarakat. Kempen ini yang acap kali diadakan di Parlimen Malaysia merupakan antara pendekatan terbaik kerana pemimpin politik mempunyai pengaruh yang amat besar dalam kalangan pengikut mereka serta mampu manjadi ikutan dan tarikan.\nContohnya, pemakaian batik Malaysia oleh mantan Perdana Menteri Malaysia dalam sidang media Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada suatu masa dahulu menjadi sebutan dan tular dalam kalangan masyarakat. Semoga kempen ini akan terus konsisten dilaksanakan dari semasa ke semasa agar masyarakat lebih cakna mengenai batik tempatan dan tidak lagi keliru dengan lambakan produk batik asing yang ada dalam pasaran negara." "Umur Panjang dan Keamanan bagi Tahun Baharu Arnab \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerusi titah perutusannya hari ini menyampaikan ucapan selamat bergembira kepada seluruh rakyat negeri Perlis berketurunan Tionghua yang bakal menyambut Tahun Baharu Cina pada hari esok.\nTahun Baharu Cina 2023 akan disambut dan diraikan pada 22 Januari 2023 bersamaan dengan hari Ahad. Tahun ini merupakan tahun arnab atau arnab air berdasarkan kalendar Cina. Menurut kepercayaan masyarakat Cina, tahun arnab melambangkan umur yang panjang, keamanan dan kemewahan. Tahun 2023 juga diramalkan sebagai tahun yang membawa tuah dan harapan.\nUcapan Selamat Tahun Baharu Cina tersebut turut disampaikan oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Putera dan puteri baginda, iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah, YAM Sharifah Farah Adriana dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail menyatakan harapan agar semangat kasih sayang, sikap saling menghormati, bertolak ansur dan semangat perpaduan akan terus mekar segar dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa di negeri Perlis.\nDi samping itu, baginda turut menzahirkan rasa bangga serta mengucapkan terima kasih kepada Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perlis yang telah menganjurkan Karnival Tahun Baharu Cina di Pekan Lama Arau dengan jayanya pada 18 Januari hingga 20 Januari 2023 yang lalu.\nKarnival tersebut yang dikunjungi oleh masyarakat setempat daripada pelbagai bangsa menepati aspirasi Projek Diraja Transformasi Komuniti Pekan Lama Kota Raja Arau. Projek tersebut merupakan inisiatif oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang bertujuan untuk membangunkan semula pekan Arau sebagai sebuah produk pelancongan di negeri Perlis.\nDalam perkembangan lain, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan mencemar duli berangkat menghadiri satu majlis santapan tengah hari di Putrajaya yang turut dihadiri oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Yang Berhormat (YB) Anthony Loke Siew Fook.\nDalam majlis tersebut, YB Anthony Loke mempersembahkan senaskhah buku berjudul Membangun Negara Madani \u2013 Visi dan Kerangka Dasar Reformasi yang ditulis oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim kepada DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sebagai cenderamata kenang-kenangan. Buku tersebut diterbitkan oleh Institut Darul Ehsan dan baru sahaja dilancarkan baru-baru ini." "Persatuan Sejarah Universiti Malaya Meraikan Pelajar Cemerlang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Persatuan Sejarah Universiti Malaya (PSUM) menganjurkan majlis apresiasi bagi meraikan para pelajarnya yang mempamerkan prestasi cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum, sahsiah dan kepimpinan.\nAfiq Aiman A. Jailani selaku Pengarah Projek Majlis Apresiasi PSUM berkata, Profesor Madya Dr. Zulkanain Abdul Rahman, Ketua Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya telah menyempurnakan gimik perasmian dan menyampaikan hadiah serta cenderamata kepada para peserta pada malam itu.\nTambah beliau, majlis yang diadakan ini juga berjaya menampilkan bakat-bakat baharu dalam kalangan pelajar daripada PSUM.\n\u201cSesungguhnya mahasiswa universiti ini bukan sahaja berjaya menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum, sahsiah dan kepimpinan, malah keunikan dan keyakinan dalam mempersembahkan bakat dalam kalangan mereka juga menunjukkan kualiti pelajar yang berada di sini,\u201d jelas Afiq Aiman.\nAntara anugerah yang disampaikan pada malam itu ialah Anugerah Berkepimpinan, Anugerah Sahsiah Terpuji dan Anugerah Kokurikulum.\nDalam majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan tampuk kepimpinan Yang Dipertua PSUM sesi 2021/2022, Muhammad Solihan Mohammad Ghazali kepada Yang Dipertua PSUM sesi 2022/2023, iaitu Muhammad Hazwan Hairul Hisham.\nSemoga jalinan hubungan antara ahli persatuan dan kerancakkan aktiviti PSUM untuk sesi tahun ini lebih banyak diadakan merangkumi peringkat universiti mahupun pihak luar." "Tahun Arnab Lambang Kemeriahan Tahun Baharu Cina 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTahun Baharu Cina merupakan perayaan utama masyarakat Cina bagi menyambut tahun baharu dalam kalendar Cina. Selain itu, Tahun Baharu Cina juga melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari pertama tahun baharu bermula, sanak saudara yang merantau akan kembali berkumpul di rumah ibu bapa.\nTahun Baharu Cina diraikan dengan pelbagai hidangan dan jamuan. Sesebuah keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, kuih pulut, dan limau mandarin. Manakala golongan muda pula akan menziarahi golongan tua dan menerima wang angpau dalam sampul merah sebagai simbolik nasib yang baik atau tuah yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada golongan yang masih belum berkahwin.\nDi samping itu, perarakan tarian naga atau tarian singa diadakan sambil diiringi dengan paluan bunyi gendang yang meriah. Bunyi dan aura daripada tarian naga atau tarian singa dipercayai boleh menghalau segala unsur-unsur jahat, musibah dan malapetaka supaya tahun yang baharu menjadi lebih baik. Mercun pula dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya sambutan tahun baharu dan untuk menghalau nasib malang dan unsur-unsur negatif. Rumah-rumah pula dihiasi dengan bunga, pokok limau serta buah limau sebagai simbolik kemurahan rezeki, kebahagiaan dan keamanan.\nHari kelapan tahun baharu dianggap sebagai \u201ctahun baharu\u201c bagi suku kaum Hokkien. Apabila tiba waktu tengah malam pada hari kelapan tahun baharu, suku Hokkien akan memanjatkan doa kesyukuran kepada Maharaja Jed. Penyembahan ini termasuklah penggunaan tebu kerana tebu pernah digunakan untuk melindungi suku Hokkien daripada ancaman penghapusan etnik pada masa lalu, manakala teh dituang sebagai adat bagi menghormati orang-orang ternama dan mercun pula dibakar bagi menandakan bermulanya sambutan tahun baharu pada hari kelapan.\nSambutan perayaan Tahun Baharu Cina berakhir dengan perayaan\u00a0Cap Goh Mei (perayaan Tanglung) pada hari ke-15 tahun baharu yang disambut sebagai simbolik berakhirnya perayaan Tahun Baharu Cina. Perayaan Chap Goh Mei diraikan dengan upacara sembahyang secara besar-besaran menggunakan colok besar yang dibakar, diadakan makan besar bersama-sama ahli keluarga, mercun dan bunga api turut dibakar serta tanglung-tanglung dinyalakan.\nMenurut Dato\u2019 Goh Hin San, Pengerusi Pusat Kebudayaan Han Malaysia, perayaan Tahun Baharu Cina merupakan satu adat dan budaya turun-temurun yang diwarisi daripada generasi terdahulu dan bukannya sebahagian daripada agama. Tahun Baharu Cina disambut dan diraikan di seluruh dunia terutamanya masyarakat Cina tanpa mengira agama. Namun begitu, terdapat segelintir daripada masyarakat yang menyelitkan unsur agama bersempena dengan perayaan Tahun Baharu Cina.\nContohnya, pada malam sebelum masuk Tahun Baharu Cina, masyarakat Cina akan melakukan upacara penyembahan kepada Tien Gong, iaitu satu entiti Yang Maha Berkuasa yang memberikan kebahagiaan serta tidak diketahui dan tidak dapat dilihat paras rupa dan fizikalnya.\nTahun Baharu Cina juga disambut untuk merayakan satu peredaran masa berdasarkan kalendar Cina yang mempunyai falsafah turun-temurun daripada konsep falsafah Cina, iaitu unsur Yin dan Yang yang menggambarkan kuasa yang bertentangan tetapi saling berkaitan dan melengkapi antara satu dengan yang lain dengan matlamat untuk mengekalkan keseimbangan. Yin merujuk simbolik daratan atau bulan, manakala Yang pula merujuk simbolik langit atau matahari. Dalam kepercayaan masyarakat Cina, falsafah Yin dan Yang ini membentuk dunia dan cakerawala.\n\u201cDalam falsafah Cina, g\u0101nzh\u012b merujuk sistem kitaran 60 kombinasi dengan dua kitaran asas, iaitu unsur Yin yang membentuk 12 unsur Dahan Duniawi (d\u00eczh\u012b), manakala unsur Yang pula membentuk 10 unsur Batang Samawi (ti\u0101ng\u0101n) serta membentuk 60 tahun yang berbeza-beza menjadi satu kitaran pusingan.\nTahun ini merupakan tahun yang ke-40 dalam kitaran tersebut, iaitu tahun Gui Mao yang merujuk unsur Yin, elemen air dan zodiak arnab hitam. Menurut kepercayaan masyarakat Cina, warna hitam melambangkan sesuatu yang negatif dan tidak baik. Berdasarkan falsafah Cina pula, tahun arnab akan membawa kesuburan kepada masyarakat dan kehidupan. Oleh itu, individu yang lahir pada tahun arnab perlu lebih berhati-hati kerana tahun arnab bertentangan dengan cakerawala dunia ini,\u201d ujar Dato\u2019 Goh Hin San.\nDato\u2019 Goh Hin San turut berkata, dalam falsafah Yin dan Yang turut memberikan penekanan terhadap simbolik warna hitam dan putih. Dalam unsur Yang yang mewakili kebaikan, terdapat bulatan kecil berwarna hitam yang melambangkan dalam sesuatu kejayaan atau kebaikan dalam kehidupan, pasti terdapat potensi kerugian atau keburukan yang harus diberikan perhatian dan perlu lebih berhati-hati.\nManakala dalam unsur Yin pula, terdapat bulatan kecil berwarna putih yang melambangkan dalam sesuatu kerugian atau keburukan dalam kehidupan, pasti terdapat harapan dan potensi untuk kembali berjaya dan berubah menjadi lebih baik. Hal ini merujuk konsep bahawa dalam kebaikan pasti ada keburukan dan dalam keburukan pasti ada kebaikan. Semuanya bergantung kepada usaha, cara pemikiran dan sikap seseorang.\nTambah beliau lagi, menurut kepercayaan masyarakat Cina, setelah selesai melaksanakan upacara penyembahan pada malam sebelum menjelang Tahun Baharu Cina, individu yang lahir pada tahun arnab perlu mengikat benang berwarna merah sama ada pada tangan atau kaki mereka untuk menghindari sebarang malapetaka, musibah, nasib malang dan unsur-unsur negatif daripada berlaku kepada diri mereka sepanjang tahun arnab ini. Benang berwarna merah pula melambangkan kemegahan, kebahagiaan, kekuatan dan boleh menghalang dan mencegah segala musibah, mudarat, nasib malang, unsur-unsur negatif dan lain-lain.\n\u201cMenurut kepercayaan masyarakat Cina, antara perkara yang perlu diberikan perhatian oleh individu yang lahir dalam tahun arnab ialah mereka perlu berfikir sedalam-dalamnya sebelum membuat sebarang keputusan dalam kehidupan. Kedua, mereka perlu berhati-hati dalam urusan perniagaan, pelaburan dan jodoh. Ketiga, mereka perlu berhati-hati sewaktu memandu atau semasa berada dalam perjalanan menuju ke suatu destinasi. Keempat, mereka perlu berwaspada dalam hal yang berkaitan dengan pemakanan. Oleh hal yang demikian, sesiapa yang lahir pada tahun arnab sangat perlu berhati-hati pada tahun ini. Namun begitu, terdapat segelintir masyarakat Cina terutamanya generasi muda moden yang sudah tidak mengamalkan kepercayaan ini,\u201d jelas Dato\u2019 Goh Hin San.\nDato\u2019 Goh Hin San turut menyatakan bahawa budaya dan amalan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina ini tidak akan dilupakan oleh generasi muda, namun falsafah, amalan dan kepercayaan yang terdapat dalam perayaan tersebut mungkin tidak akan dipraktikkan lagi secara 100 peratus, terutamanya bagi golongan generasi muda.\n\u201cIbu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak tentang budaya dan amalan yang perlu dilakukan bersempena dengan sambutan perayaan Tahun Baru Cina. Antaranya termasuklah seperti tunduk hormat sambil menghidangkan minuman kepada ibu bapa, memberikan angpau, makan malam secara beramai-ramai pada sehari sebelum menjelang Tahun Baharu Cina dan lain-lain. Hal ini amat penting supaya warisan, budaya dan tradisi ini berkekalan buat selama-lamanya dan tidak dilupakan.\nSeterusnya, pendidikan juga amat penting bagi melahirkan insan dan generasi yang berilmu pengetahuan dan cakna tentang budaya, adat dan warisan masyarakat Cina. Menerusi pendidikan, masyarakat khususnya generasi muda tidak akan lupa tentang asal usul, budaya dan jati diri keturunan mereka. Jika seseorang itu tidak mempunyai jati diri kebudayaan, kepercayaan dan adat yang diwarisi, maka kehidupan mereka akan mudah goyah tanpa sebarang pedoman yang membimbing dan membentuk akhlak, sahsiah dan disiplin diri mereka,\u201d kata Dato\u2019 Goh Hin San.\nMenurut Goh Ming Lee yang merupakan anak Dato\u2019 Goh Hin San yang lahir dalam tahun arnab, Tahun Baharu Cina bersempena dengan tahun Gui Mao yang merujuk unsur Yin, elemen air dan zodiak arnab hitam mempunyai dua kesan, iaitu sama ada kehidupan menjadi lebih baik atau kehidupan menjadi lebih buruk jika gagal mengatasi ujian atau dugaan yang melanda. Justeru, individu yang lahir dalam tahun arnab perlu lebih berhati-hati apabila membuat sebarang keputusan merangkumi diri sendiri, keluarga, masyarakat dan lain-lain.\n\u201cSaya turut berasa tertekan dan risau kerana tahun ini merupakan tahun arnab yang merupakan tahun kelahiran saya. Walau bagaimanapun, saya masih lagi mempraktikkan amalan-amalan kepercayaan yang diwarisi daripada generasi terdahulu seperti memakai benang merah pada tangan. Di samping itu, saya juga akan mewariskan ilmu pengetahuan tentang budaya dan amalan-amalan kepercayaan masyarakat Cina serta mendidik anak-anak saya dengan warisan dan tradisi ini supaya mereka mempunyai jati diri yang tinggi dan kenal dengan budaya, warisan dan tradisi keturunan mereka,\u201d kongsi Goh Ming Lee.\nTambah Goh Ming Lee lagi, pemberian angpau bersempena dengan Tahun Baharu Cina juga merupakan sebahagian daripada budaya dan warisan masyarakat Cina dan amalan tersebut bukanlah sebahagian daripada ritual agama seperti yang disalahtafsirkan oleh segelintir masyarakat pada hari ini." "Tahun Baharu Cina: Kemegahan Budaya, Warisan dan Tradisi Masyarakat Cina\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTahun Baharu Cina menandakan hari pertama dalam bulan pertama takwim masyarakat Cina. Tahun Baharu Cina kebiasaannya jatuh antara 21 Januari dengan 20 Februari dalam tahun Masihi kerana selepas matahari memasuki zodiak Aquarius, anak bulan hanya kelihatan dalam tempoh tersebut. Tahun Baharu Cina mempunyai tiga maksud penting, iaitu permulaan sesuatu bulan dan permulaan sesuatu musim, cuti umum bagi semua orang Cina tanpa mengira agama serta usia setiap orang Cina dianggap menjangkau setahun lebih.\nTahun Baharu Cina sering dikaitkan dengan legenda popular yang menerangkan asal usul perayaan, yakni keberadaan raksasa yang dinamakan Nian (Tahun) yang amat takut terhadap tiga perkara di bumi ini, iaitu bunyi, cahaya dan warna merah. Petang Tahun Baharu Cina dan jamuan makan bersama-sama merupakan masa untuk anggota setiap keluarga kembali ke kampung halaman (rumah leluhur) untuk makan bersama-sama bagi mengeratkan hubungan ukhuwah dan perpaduan dalam kalangan keluarga. Majlis tersebut dipanggil sebagai Tuan Nian atau Wei Lu yang bermaksud berkumpul bersama-sama di depan batu dapur.\nSewaktu semua anggota keluarga sudah berkumpul di rumah pada waktu petang, jamuan makan malam bersama-sama lazimnya secara besar-besaran dimulakan. Bagi keluarga yang konservatif, roh-roh nenek moyang juga dijemput hadir. Selepas jamuan makan, anggota yang lebih tua dan dewasa akan berada di dalam rumah menunggu kedatangan Tahun Baharu atau Shou Sui. Kanak-kanak juga digalakkan turut bersama-sama kerana dipercayai bahawa mereka yang menanti sehingga tibanya Tahun Baharu Cina akan mendapat usia yang panjang.\nSeterusnya, menurut kepercayaan masyarakat Cina, antara pukul 11 malam hingga pukul enam pagi mengikut waktu yang bersesuaian dalam takwim, para dewa-dewi terutamanya Dewa Kekayaan akan dipersembahkan semula dalam upacara keraian tahun baharu.\nLilin merah, kertas suci dan colok dibakar dan kebiasaannya disertai pembakaran mercun. Dalam upacara ini, sayur-sayuran mentah, buah-buahan seperti tembikai, limau, pisang di samping bunga seperti mawar dan anggerik serta tiga cawan teh dihidangkan. Kertas merah yang mempunyai reka bentuk tertentu dilekatkan pada setiap hidangan yang melambangkan maksud tertentu seperti nasib, kekayaan, kejayaan, panjang umur, kesempurnaan hidup dan supaya dikurniakan zuriat keturunan yang banyak.\nAmalan memuja nenek moyang seperti yang terkandung dalam ajaran Kung Fu Tze pula mengenai kewajipan berbakti kepada orang tua, iaitu ibu bapa yang sedia ada haruslah dihormati dan begitu juga dengan ibu bapa yang telah meninggal dunia haruslah dikebumikan dan disembah secara hormat.\nPerayaan Tahun Baharu Cina lazimnya disambut selama 15 hari bermula pada hari pertama dalam bulan pertama. Dalam tempoh ini, beberapa hari mempunyai makna yang tertentu. Antara hari yang dimaksudkan ialah:\nKai Nian, iaitu hari yang menunjukkan bermulanya sesuatu tahun. Pada hari tersebut, kedai-kedai orang Cina akan dibuka untuk berniaga dan kebiasaannya, satu kenduri atau jamuan makan diadakan. Kai Nian boleh jatuh pada hari kedua, keempat, keenam atau kelapan dalam Tahun Baharu Cina tetapi jarang bermula pada hari ganjil.\nHari Ketujuh merujuk kepada hari jadi manusia. Masyarakat Cina akan memakan salad yang dipanggil sebagai Sang Choy (dalam dialek Kantonis) dan ikan mentah yang dipanggil sebagai Yee Sang (dalam dialek Kantonis). Memakan Sang Choy (bermaksud sayur hidup) dan Yee Sang (bermaksud ikan hidup) melambangkan hidup untuk selama-lamanya.\nHari Kesembilan pula merupakan hari kelahiran Tian Gong (Maharaja Jed) atau Dewa Syurga. Hari Kesembilan mempunyai pengertian yang istimewa bagi masyarakat Cina yang berketurunan Hokkien dan diraikan secara besar-besaran. Pada malam hari kesembilan, masyarakat Cina akan berkunjung ke kuil-kuil Maharaja Jed selain upacara sembahyang di luar rumah, yakni di kaki lima, di tepi jalan ataupun di halaman rumah. Manakala sepasang batang tebu yang diikat di sebelah kiri dan kanan hujung meja yang bersegi empat menandakan kehijauan, kemudaan dan tenaga. Kam Che dalam dialek Kantonis bermaksud emas (kam) dan terima kasih (che) sebagai tanda terima kasih kepada Maharaja Jed.\nHari Kelima Belas dalam tahun baharu menandakan tamatnya perayaan Tahun Baharu Cina dan disambut secara besar-besaran bersempena dengan kehadiran bulan purnama yang pertama pada tahun itu. Hari tersebut dikenali sebagai Capgome atau Cap Goh Mei yang bermaksud Malam ke-15 dalam dialek Hokkien. Golongan muda Tionghoa menganggap malam tersebut sebagai \u201cMalam Bercinta di Bawah Sinaran Bulan\u201d.\nTahun Baharu Cina pada tahun ini dengan zodiak arnab akan disambut oleh seluruh masyarakat Cina pada 22 Januari 2023 bersama-sama masyarakat majmuk Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan latar belakang seperti bak kata Kung Fu Tze, \u201cDi dalam lingkungan keempat-empat lautan, semua adalah saudara\u201d. Yang pastinya, pasti terdapat limau mandarin, kuih bakul, angpau, pembakaran mercun atau bunga api dan tarian singa untuk memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini. Selamat Tahun Baharu Cina 2023. Gong Xi Fa Cai." "\u201cKonsert Hiruk-Pikuk\u201d Memartabatkan Kebudayaan UPSI\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTanjong Malim \u2013 Pusat Kebudayaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (PUSKEB) dengan kerjasama Majlis-Majlis Pengetua bakal menganjurkan program Konsert Hiruk-Pikuk bersempena Hari Terbuka Pusat Kebudayaan UPSI pada 28 Januari 2023 yang bertempat di Panggung Percubaan UPSI.\nTujuan aktiviti kebudayaan yang julung-julung kali diadakan ini bagi memartabatkan kebudayaan UPSI selepas pandemik COVID-19 melanda negara. Justeru, pelbagai aktiviti menarik bakal disajikan bagi memeriahkan suasana UPSI dengan program kebudayaan.\nAntara aktiviti menarik pada waktu pagi ialah Sihat PUSKEB, pertandingan permainan tradisional, pertandingan peragaan busana tradisional dan Tayangan Perdana Filem Pendek KASAM daripada produksi Thespian Resources hasil karya Faizal Ruhaijat.\nSeterusnya, pada waktu petang akan bersambung dengan acara demonstrasi karikatur, hiburan jalanan dan persembahan Teaterikal Ria yang penuh dengan warna-warni persembahan kebudayaan sebagai tunjang utama program. Antara persembahan yang bakal berlangsung termasuklah teater Bitara Sakti, dikir barat oleh Kelab Dikir Barat Warisan Cenderawasih UPSI, gamelan oleh Kelab Gamelan Margamas UPSI, nyanyian solo oleh Darwisyah, nyanyian tradisional oleh Imran dan penampilan istimewa monodrama oleh Sani Sudin.\nPada waktu malam pula, Konsert Hiruk-Pikuk anjuran PUSKEB akan melancarkan lagu dan pencarian PUSKEBMATE (rakan PUSKEB). Selain penampilan istimewa Sani Sudin, turut hadir bersama-sama ialah Ameng Spring bagi merancakkan suasana Konsert Hiruk-Pikuk yang dianjurkan PUSKEB.\nPusat Kebudayaan UPSI sangat mengalu-alukan kedatangan warga UPSI dan seluruh masyarakat supaya bersama-sama menyokong inisiatif program kebudayaan yang diadakan. Semoga dengan usaha ini dapat membawa UPSI kembali subur dengan pelbagai aktiviti kebudayaan pada masa akan datang selepas aktiviti seni lumpuh kerana pandemik COVID-19 yang melanda." "Festival Kraf Tekstil Pantai Timur 2023 Menggalakkan Budaya Pemakaian Produk Kraf Tekstil Tempatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) sedang menganjurkan Festival Kraf Tekstil Pantai Timur 2023 (FKTPT 2023) di tiga lokasi berbeza, iaitu di KTCC Mall, Kuala Terengganu, Mesra Mall, Kemaman dan East Coast Mall (ECM), Kuantan, Pahang bermula dari 19 hingga 29 Januari 2023.\nPenganjuran FKTPT 2023 diharapkan dapat menggalakkan lebih ramai masyarakat Malaysia untuk membudayakan pemakaian produk kraf tekstil tempatan sebagai satu daripada gaya hidup selain menyemarakkan semangat cintakan seni kraf warisan terutamanya dalam kalangan generasi muda.\nFKTPT 2023 yang berlangsung pada kali ini merupakan penganjuran kali keempat sejak tahun 2019 dan merupakan antara strategi Kraftangan Malaysia untuk mempromosikan pelbagai produk kraf tekstil tempatan seperti batik, songket dan tenun Pahang Diraja yang dihasilkan oleh para usahawan serta komuniti kraf khususnya di Pantai Timur.\nMenurut Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Terengganu, Md Azrul Hussein, FKTPT 2023 melibatkan penyertaan 75 usahawan kraf yang terdiri daripada usahawan dari Kelantan, Terengganu dan Pahang serta usahawan kraf dari negeri-negeri lain yang menyasarkan nilai jualan sebanyak RM1.5 juta bagi ketiga-tiga lokasi penganjuran tersebut.\nTerdapat pelbagai aktiviti menarik sepanjang berlangsungnya festival ini. Antaranya termasuklah jualan produk kraf yang merangkumi tekstil, hasil rimba dan aneka kraf, pameran \u201cIni Batik Malaysia\u201d, pameran \u201cJom Masuk Institut Kraf Negara\u201d serta pameran Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja (IKTPD) yang ditawarkan sepanjang penganjurannya yang bermula dari 10 pagi hingga 10 malam pada setiap hari. Di samping itu, demonstrasi kraf dan interaktif kraf turut diadakan supaya para pengunjung yang hadir boleh melihat sendiri proses menghasilkan seni tersebut.\nOrang ramai terutamanya yang berada di sekitar Pantai Timur dijemput untuk berkunjung ke tiga lokasi berkenaan bagi menyemarakkan lagi FKTPT 2023 anjuran Kraftangan Malaysia." "Sabri Yunus dengan Naskhah Terbaharunya: Duan Nago Bogho\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nItupun sudah dibakukan sedikit, Duan singkatan daripada Ridhuan dalam sebutan Kelantannya adalah \u201cDue\u201d. Nago Bogho ini nama julukan kepada mereka yang keras hati, bersikap kasar dan juga berani. Nama Nago Bogho diambil daripada sifat ular berbisa yang kononnya mendiami paya-paya dan tatkala menentang musuhnya mampu menyemburkan bisa. Akan bentuk ular yang besar itu umum menggelarnya naga.\nKiasan kepada sifat dan sikap susuk Ridhuan ini dibina Sabri Yunus menerusi naskhah terbaharunya yang kemudian diangkat menjadi filem. Duan adalah anak muda yang pada dasarnya menceburi kesenian makyung yang kononnya adalah warisan daripada sebelah ayahnya. Sementara sisi yang lain, Duan seorang yang gemar bergaduh dan hal ini diambil daripada sebelah ibunya, yakni bapa saudaranya.\nTiba pada suatu ketika akibat satu pergaduhan yang terjadi sedang Duan beraksi selaku peran makyung dalam persembahan, ayahnya memutuskan Duan harus meninggalkan kampung sebelum makyung rosak dan dicemuh orang, kata ayahnya. Sehingga tahap ini, pengenalan naskhah Sabri Yunus ini sudah mula boleh disorot.\nPeran ialah pelakon yang memainkan peranan pembantu kepada Pakyung dengan watak tipikal orang kampung dari segi berbusana dan langgam tutur katanya, akan tetapi kemas dan rapi dalam bahasa komunikasi dengan Raja (Pakyung). Perkara kedua ialah tentang pergaduhan. Pergaduhan ini terjadi yang seakan-akan tiada sangkut-paut pun dengan Duan yang pada ketika itu sedang berada di pentas.\nDi sini, Sabri mengisyaratkan dua sisi watak Duan yang kemudiannya mewarnai hampir seluruh filemnya ini. Pertama, kecintaan kepada kesenian makyung. Gangguan dua pemuda terhadap seorang wanita dalam kalangan penonton ketika dia sedang beraksi sehingga mencetuskan pertengkaran dan pergaduhan telah menggugat konsentrasi Duan. Duan marah! Kedua, gangguan itu sekali gus tidak bermoral dan Duan bertindak menyerang pengganggu atas nama maruah! Dia sangat jengkel.\nDuan \u201cdihantar\u201d oleh Sabri ke Kuala Lumpur. Ada kekesalan juga kalau hendak dikira, namun Duan berharap di Kuala Lumpur dia dapat mengembangkan kesenian ini atau sekurang-kurangnya mengubati hati tidak mensia-siakan bakat yang telah mendarah daging dalam dirinya. Lalu Duan ditemukan dengan watak Nancy yang konon ingin menyelesaikan desertasinya dalam kesenian Melayu Nusantara.\nApakah muslihat sang pengarah yang seorang ini?\nNancy mempunyai rekod sejarah yang masih membara dalam perancangan Fendi Bukit Bintang, seorang ketua gangster yang digeruni di Kuala Lumpur untuk membunuhnya. Atau adakah perancangan Jimmy Ang, yakni si ayah yang memerlukan seseorang mengawasi anaknya yang dihidunya masih berada dalam bahaya sekalipun telah melakukan penyamaran (melalui pembedahan plastik di luar negara)? Duan sebenarnya sudah selangkah masuk ke wilayah persengketaan dalam kelompok penjenayah di dunia gelap Kuala Lumpur.\nDuan terdedah kepada \u201cpersengketaan\u201d besar dan hal ini amat bersesuaian dengan dirinya yang gemar bergaduh tatkala berada di kampung. Duan berada dalam skala indah kesenian makyung kerana belum pernah terbayang akan berpeluang melakukan persembahan di Jepun dan skala sengit percaturan para ketua gangster di kota serba mencabar. Bermula memukul beberapa pemuda yang mencabar maruah negerinya (Kelantan), kemudian membantu menewaskan gerombolan samseng penarik kereta yang mencabar sahabat baiknya, dia terperosok ke dalam lingkungan orang suruhan Fendi!\nPada kali ini, pengarah meramukan naskhah dengan jalinan cukup beriringan serta melengkapi juga mempertahankan kelangsungan makyung dan pertarungan getir mempertahankan tanggungjawab dan kebenaran. Dikatakan tanggungjawab kerana seperti katanya kepada Nancy, \u201cSaya tidak akan tinggalkan orang yang sedang makan makanan yang saya hidang!\u201d Nancy yang dalam bahaya kini menjadi tugasnya menyelamatkan gadis tersebut.\nPertarungan pun terjadi. Kedua-duanya, jiwa membara dalam kesenian, perhitungan getir dengan kejahatan! Duan tidak berundur, satu sifat \u201cnago bogho\u201d yang telah terkenal dalam pelbagai kisah lisan rakyat negeri Kelantan, bahkan popular hingga ke hari ini. Duan yang berada dalam lingkungan paya kecil di kampungnya dan sekarang dalam lingkungan medan besar penuh tantangan di metropolitan.\nFilem Duan Nago Bogho dibarisi bintang hebat seperti Dato\u2019 Rosyam Nor, Asrul Faisal Kamaruzaman, Jojo Goh, Sangeeta Krishnasamy, Angeline Tan, Jason Chong, Huraisi Hussin, Sabri Saidi dan Sabri Yunus sendiri. Diterbitkan oleh produser terkenal, iaitu Kalam Ariff Holdings Sdn. Bhd., filem Duan Nago Bogho telah bersedia menjengah panggung seluruh negara bermula 19 Janurai 2023. Selain menulis skripnya, Sabri Yunus juga adalah pengarah filem ini.\nApakah pengakhiran yang diimpikan Sabri Yunus? Sabri Yunus terkenal sebagai seorang insan yang amat mencintai kesenian rakyat negerinya meliputi wayang kulit, makyung, dikir barat, menora dan segala bentuk kesenian tradisional yang pernah diceburinya. Kecintaan Sabri Yunus kepada kesenian diletakkan seluruh harapan kepada si peran Duan. Walau bagaimanapun, kesenian ini juga sedang berhadapan dengan zaman sukar di dunia moden hari ini. Peran dalam kesenian makyung di sebalik sifat \u201cbodoh-bodoh alangnya\u201d adalah seorang perancang dan pemikir sekali gus pahlawan Raja yang gagah berani.\nJika benar Sabri Yunus berada pada manifestasi ini, sesungguhnya dia telah \u201cmengambil keluar\u201d Duan dari bangsal terpencil makyung untuk mempamerkan ciri-ciri sifat dan sikap menurut gagasan baharunya. Keberanian Duan amat luar biasa dan hal itu sudah jelas di bangsal makyungnya. Namun begitu, peran sebenar ialah pemegang amanah maruah di mana-mana sahaja. Malahan sanggup menjadi pembela masyarakat yang lebih besar, sekiranya demikianlah diam-diam Sabri Yunus ingin menyatakan!\nMarilah kita bersama-sama menyaksikannya di pawagam." "Pementasan Teater Inspektor Jeneral Menilai Kewibawaan Pelajar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pada 26 hingga 27 Januari 2023 bertempat di Panggung Eksperimental, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah berlangsung sebuah pementasan teater klasik berjudul Inspektor Jeneral hasil karya Nikolai Gogol dengan usaha terjemahan oleh Ahmad Yatim dan dibimbing oleh tenaga pengajar yang pakar, iaitu saudara Shahrul Mizad Ashaari.\nSeramai 13 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Teater telah dinilai sepanjang pementasan ini berlangsung untuk subjek Penilaian Produksi Teater Klasik. Pementasan teater selama dua jam ini telah berjaya memukau para penonton dengan babak-babak lucu dan pelbagai aksi bertenaga oleh para pelakon yang berpakaian busana ala Inggeris serta latar pentas yang berjaya membawa penonton berasa seperti berada pada era berkenaan.\nPada babak awal pembukaan teater, para penonton didendangkan dengan lagu-lagu klasik Rusia yang membuatkan para penonton berasa seolah-olah berada dalam dunia pementasan teater berkenaan dengan lampu pentas yang memfokuskan kepada set pentas dan membuatkan para penonton teruja menantikan pementasan teater bermula.\nBabak pertama teater menyaksikan aksi Gabenor yang dilakonkan oleh Ammar Abd Razak yang menyatakan kerisauannya apabila seorang Ketua Jeneral akan hadir ke tempatnya, namun mereka telah tersalah anggap apabila menyangka Khlestakov lakonan Azwan Ahmad sebagai Inspektor Jeneral. Pelbagai adegan penipuan oleh Khlestakov yang menyamar sebagai Inspektor Jeneral telah membuatkan penonton tidak kering gusi.\nKekuatan pementasan teater ini terhasil daripada olahan dan garapan pengarah yang bijak memberikan watak kepada para pelakon dan hasilnya membuatkan para pelakon dapat membawa watak dengan baik dan berkesan. Setiap dialog yang dituturkan oleh para pelakon dilontarkan dengan lantang dan jelas dan menjadikan tiga elemen asas teater, iaitu suara, gerak dan emosi berjaya dikuasai oleh para pelajar yang dinilai.\nObjektif pementasan teater klasik Inggeris ini adalah untuk menilai keupayaan para pelajar dalam mengendalikan sesebuah produksi pentas bermula daripada proses-proses awal sesebuah pementasan teater sehinggalah hari berlangsungnya pementasan teater. Kesemua aspek pengurusan dan lakonan pentas dinilai sepanjang proses pementasan teater ini berlangsung dan hal memberikan gambaran yang jelas bahawa ASWARA sangat mengutamakan aspek teori dan praktikal.\nPementasan teater ini juga turut dihadiri oleh beberapa orang penggiat teater tanah air seperti saudara Hamzah Tahir yang merupakan seorang tenaga pengajar seni teater di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan pereka set pentas terkenal tanah air." "Kelantan Menubuhkan Akademi Seni Budaya dan Warisan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Kelantan adalah sebuah negeri yang terkenal dengan seni budaya dan warisan tempatan yang masih mekar dan kekal sepanjang zaman. Perkembangan arus zaman tidak banyak memberi kesan kepada kedudukan seni budaya dan warisan tempatan yang masih bertahan dengan identiti tersendiri.\nSesuai dengan matlamat untuk mengekalkan dan memartabatkan seni budaya tempatan agar terus utuh sepanjang zaman, sebuah pusat latihan yang dikenali sebagai Akademi Seni Budaya dan Warisan, Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC Kelantan) ditubuhkan.\nObjektif penubuhan pusat latihan ini adalah untuk mengekalkan dan menjaga seni budaya dan warisan di samping melahirkan pelapis-pelapis baharu yang berwawasan serta penggiat seni tradisional yang berkelulusan akademik.\nSelaras dengan hasrat tersebut, TIC Kelantan melaksanakan inisiatif mewujudkan satu akademi bagi memberi pendedahan dan melahirkan bakat-bakat baharu untuk diketengahkan dalam industri pelancongan.\nPusat latihan tersebut terletak di pusat kebudayaan Gelanggang Seni, Jalan Mahmood, Kota Bharu, Kelantan yang telah dibaik pulih dan dinaik taraf supaya sesuai dijadikan sebagai tempat Akademi Seni Budaya dan Warisan beroperasi.\nPusat latihan ini bakal dikendalikan oleh seorang pengurus dan beberapa tenaga pengajar yang akan dilantik berdasarkan kepakaran dalam bidang masing-masing yang berkaitan dengan seni budaya dan warisan.\nPenubuhan akademi ini juga diharap dapat melahirkan generasi penggiat seni baharu yang lebih berkualiti, berwawasan dan berpendidikan bagi menggalakkan penjanaan pendapatan kepada rakyat, penggiat seni dan negeri.\nMenurut Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan, Mejar (B) Dato\u2019 Md. Anizam Ab. Rahman, pusat ini mula ditubuhkan pada 2 November 2022 dan berpusat di Gelenggang Seni serta dikawal selia oleh Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC).\nTambah beliau, pada peringkat awal, akademi ini mempunyai seramai 30 orang pelajar dengan lima orang tenaga pengajar dan seorang penyelia.\n\u201cKelas latihan secara intensif selama enam bulan akan diberikan kepada para pelajar yang menyertai akademi ini mengikut modul pembelajaran yang ditetapkan bagi melatih dan mencungkil bakat mereka supaya mahir dalam persembahan terutama di hadapan khalayak ramai.\nDi samping itu, kerajaan negeri Kelantan membiayai sepenuhnya segala kos sepanjang program akademi ini berlangsung dengan pelajar dan tenaga pengajar diberikan elaun dan makan minum secara percuma,\u201d ujar Mejar (B) Dato\u2019 Md. Anizam.\nMejar (B) Dato\u2019 Md. Anizam turut berkata, silibus akademi ini merangkumi pelbagai jenis persembahan. Antaranya termasuklah bergendang klasik, bergendang moden, muzik silat, muzik wayang kulit dan pelbagai jenis permainan tradisional.\nDi samping itu, beliau turut berharap agar penubuhan akademi ini dapat melahirkan pelapis-pelapis kreatif, profesional, berkualiti serta berkebolehan tinggi dalam mempersembahkan seni budaya dan warisan negeri.\n\u201cPihak kerajaan negeri Kelantan berharap agar satu kumpulan persembahan kebudayaan negeri dapat ditubuhkan menerusi akademi ini kelak yang boleh membuat persembahan dalam majlis-majlis rasmi kerajaan pada peringkat negeri mahupun peringkat kebangsaan serta program-program pelancongan yang bertaraf antarabangsa.\nKami berharap dengan kewujudan pusat seperti ini mampu membawa masyarakat kita melangkah setapak lagi dalam mengembangkan bidang kajian dan penyelidikan tentang seni budaya dan warisan di negeri ini,\u201d kata Mejar (B) Dato\u2019 Md. Anizam.\nKerjasama daripada semua pihak khususnya agensi kerajaan, Institut Pengajian Tinggi (IPT), sektor swasta, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan para penggiat seni budaya amat dialu-alukan demi mencapai hasrat tersebut.\nSudah tiba masanya pihak swasta khususnya agensi pelancongan dan hotel mengambil sikap proaktif dengan memberi sokongan dan dukungan yang tidak berbelah bahagi dalam menjayakan setiap program yang berkaitan dengan seni budaya dan warisan tempatan.\nJika semua pihak mengambil sikap proaktif dan bertanggungjawab, tidak mustahil dalam waktu yang singkat, kita mampu memartabatkan seni budaya tempatan melepasi sempadan negara." "Wakil DBP di Stesen Televisyen\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2212 Media sosial menjadi sarana komunikasi kepada masyarakat. Oleh sebab itu, sebagai satu medium penyampaian wadah dan maklumat kepada masyarakat, peranan penyampai berita sangat penting dan perlu menitikberatkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul. Badan penyiaran pula berperanan sebagai pengutus warta dalam menonjolkan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia di peringkat antarabangsa.\nMenurut YBhg. Dato\u2019 Harjit Singh Hullon, iaitu Ikon Penyampai Berita, peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai badan induk bahasa sangat penting dalam usaha memantau penggunaan bahasa Melayu yang baik dalam kalangan penyiar.\nKatanya lagi, bahasa yang digunakan dalam media sosial memang tidak boleh dikawal. Oleh itu, beliau turut mencadangkan agar setiap stesen televisyen perlu mempunyai wakil daripada pihak DBP untuk mengawal selia penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam dunia penyiaran.\n\u201cSaya juga mencadangkan agar pihak DBP mengadakan pertemuan dengan stesen televisyen bagi tempoh beberapa bulan sekali untuk membantu mereka menggunakan istilah dan bahasa Melayu yang betul. Gunakanlah bahasa Melayu yang betul secara meluas dalam kehidupan kita. Satu bangsa, satu bahasa, iaitu bahasa Melayu, bahasa kebangsaan kita,\u201d ujar beliau yang sangat berpengalaman dalam menyampaikan berita selama hampir 45 tahun.\nBuku Penggunaan Bahasa dalam Surat Rasmi: Bahasa dan Komunikasi (2016) dan Siri Kesantunan Bahasa: Kesantunan Bahasa dalam Pengurusan, Pentadbiran dan Media\u00a0 (2018) tulisan Asmah Haji Omar yang diterbitkan oleh DBP antara buku yang boleh membantu memberikan garis panduan kepada pengutus warta, penyampai, penyedia berita, penyunting berita dalam meningkatkan penggunaan bahasa dalam penyiaran berita. Selain itu, penyampai berita juga boleh membuat rujukan bahasa dan istilah bahasa Melayu melalui portal Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang disediakan oleh pihak DBP.\nMenurutnya lagi, tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pembaca berita pada hari ini lebih baik. Walau bagaimanapun, mereka perlu sentiasa memperbaik mutu bahasa Melayu dalam penyampaian berita dari semasa ke semasa.\nBeliau pernah bertugas sebagai penyampai berita di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) sejak tahun 1972 hingga tahun 2016. Pada tahun 2011, beliau bersara dan kemudiannya menyambung kontrak dengan RTM hingga tahun 2016.\n\u201cSaya bertutur dalam bahasa Inggeris ketika di sekolah tetapi di luar sekolah, saya bertutur dalam bahasa Melayu. Prinsip saya, apabila berminat pada sesuatu bahasa itu maka kita akan dapat menguasai bahasa itu dengan baik. Kita akan belajar secara mendalam untuk menguasai bahasa tersebut. Saya amat meminati bahasa Melayu kerana bahasa ini yang paling mudah untuk dipelajari. Sekiranya kita berminat, berkehendak dan sentiasa ada kemahuan untuk belajar tentang sesuatu bahasa, maka kita akan berdaya usaha untuk menguasainya,\u201d katanya lagi yang pernah\u00a0berkhidmat sebagai juruhebah dan penyunting berita.\nMenurut beliau, persediaan awal perlu dilakukan oleh pihak yang terlibat termasuklah pemberita (wartawan), penyunting berita dan pembaca berita sebelum sesuatu berita disampaikan kepada masyarakat. Teks berita itu bergantung pada cara penulisan skrip berita yang dibuat oleh wartawan dan kemudiannya diolah oleh penyunting.\nDalam konteks ini, penyampai berita bertindak sebagai \u201ctukang\u201d yang menyampaikan berita, manakala penyunting ialah penulis skrip dan perlu mengolahnya dengan baik agar berita yang disampaikan oleh penyampai berita itu menggunakan bahasa yang baik. Istilah yang digunakan juga mestilah yang mudah difahami oleh masyarakat umum. Maka itu, di sinilah pentingnya peranan penyunting skrip dalam memastikan teks yang disediakan itu dapat diterima dengan baik oleh masyarakat.\nBahasa Melayu dapat memberikan nilai kepada masyarakat apabila disampaikan secara santun oleh penyampai berita melalui penghayatan skrip yang dibaca. Selain itu, keterampilan penyampai berita juga penting dari segi berpakaian, bahasa badan dan nada suara. Penghayatan skrip juga penting agar mesej yang disampaikan berkesan kepada masyarakat.\nDemikianlah antara penerangan oleh YBhg. Dato\u2019 Harjit Singh Hullon, dalam Rancangan Bicara Karyawan Kebangsaan 2021: Bahasa Kebangsaan Pengutus Warta, yang disiarkan secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP dan JendelaDBP pada pukul 10.00 pagi tadi. Yang turut hadir sebagai moderator ialah YBrs. Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah, DBP, Kuala Lumpur." "DBP Sarawak Mempergiat Penganjuran Program untuk Masyarakat di Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBP Sarawak) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Berbahagia Datu Dr. Azhar Ahmad, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak pada 31 Januari 2023 (Selasa) di Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) bagi memaklumkan program-program yang akan dianjurkan sepanjang tahun 2023. Pada masa yang sama, kunjungan hormat tersebut diadakan untuk mengeratkan lagi hubungan yang telah terjalin antara DBP Sarawak dengan JPNS sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).\nKunjungan hormat tersebut diketuai oleh Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBP Sarawak bersama-sama ahli pengurusan yang lain, iaitu Encik Ja\u2019afar Haji Hamdan, Timbalan Pengarah Pengembangan Bahasa dan Sastera, Encik Abdul Rasid Haji Subet, Timbalan Pengarah Pembinaan dan Penyelidikan, Cik Stephanie Lenya Chaong, Ketua Unit Promosi dan Pengiktirafan serta Puan Hajijah Haji Mainol, Ketua Unit Penerbitan.\nDalam pertemuan tersebut, DBP Sarawak telah membentangkan projek yang akan dilaksanakan pada tahun 2023 merangkumi Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah Negeri Sarawak dan Anugerah Buletin Jabatan yang akan diadakan secara bergilir-gilir bermula pada tahun ini. Program ini diadakan bagi memberikan penghargaan serta pengiktirafan kepada usaha pemupukan minat dan bakat para pelajar yang berkebolehan menghasilkan karya-karya yang bermutu.\nSelain itu, DBP Sarawak juga menyasarkan untuk mengadakan Sayembara Pidato Perpaduan yang dianjurkan dengan kerjasama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada bulan Februari ini serta penganjuran Forum Remaja Piala Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang memberikan penekanan kepada penggunaan bahasa Melayu baku yang baik dan berkesan dari segi tatabahasa, sebutan dan gaya.\nDalam taklimat yang disampaikan oleh Encik Abang Haliman, beliau turut memaklumkan bahawa DBP Sarawak akan menganjurkan Pertandingan Deklamasi Sajak yang akan melibatkan sekolah di daerah Miri dan Kuching dalam usaha memupuk minat dan kecintaan golongan remaja terhadap bahasa dan sastera Melayu.\nBagi menyemarakkan lagi sambutan ulang tahun ke-60 Sarawak Merdeka dalam Malaysia, DBP Sarawak akan menganjurkan dua program utama, iaitu Karnival Intelek di daerah Bintulu dan Minggu Karyawan Muda di daerah Sarikei. Kedua-dua program ini mempunyai pengisian yang menarik seperti Pertandingan Penglipur Lara Moden, Pertandingan Pantas Jawi Peringkat Negeri Sarawak dan Bengkel Penulisan yang akan melibatkan penulis baharu di Sarawak.\nDi samping itu, DBP Sarawak turut bekerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak dalam usaha menyemai rasa kecintaan dan keharmonian dengan menganjurkan program yang memfokuskan kepada perpaduan dalam kalangan masyarakat Sarawak. Antara program yang dirancang ialah pelibatan pelajar Sekolah Cina Swasta dalam forum pelajar, pertandingan video pendek untuk membina keyakinan diri pelajar dalam menggunakan bahasa Melayu yang betul dan pertandingan lagu Melayu yang akan melibatkan penyertaan pelajar Cina di Sarawak.\nPada tahun ini juga, DBP Sarawak akan mengadakan program baharu, iaitu Program Pemerkasaan Jawi bagi memperkenalkan ciri-ciri dan bahagian penting dalam tulisan Jawi. Selain itu, diharapkan program ini dapat menarik minat golongan remaja terhadap tulisan Jawi serta meningkatkan kemahiran mereka dalam penulisan Jawi.\nDalam ucapannya, Datu Dr. Azhar berharap agar program-program yang akan dianjurkan ini dapat melibatkan semua sekolah di Sarawak dan juga sekolah di kawasan pedalaman Sarawak. Beliau juga memaklumkan bahawa JPNS memberikan sokongan yang penuh untuk bekerjasama dengan DBP Sarawak dalam melaksanakan program-program tersebut demi kebaikan para pelajar di Sarawak.\nSelain itu, beliau turut mengulas mengenai prosedur membawa pelajar keluar dari kawasan sekolah untuk menyertai pertandingan dan pihaknya memaklumkan bahawa kebenaran ibu bapa atau penjaga masih diperlukan demi memastikan keselamatan pelajar.\nTurut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Tuan Haji Japri Bujang Masli, Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak (PNS) dan barisan pengurusan tertinggi JPNS. Tuan Haji Japri turut menyentuh tentang peranan PNS sebagai sebuah gedung ilmu di Sarawak.\nBeliau berharap agar penulis atau badan penerbit di Sarawak dapat memainkan peranan dengan menyerahkan bahan terbitan dalam bentuk buku untuk simpanan PNS dan seterusnya menjadi rujukan serta bahan bacaan di perpustakaan. Beliau turut memaklumkan terdapat ordinan atau peraturan di Sarawak yang menghendaki penulis atau penerbit menyerahkan tiga buah buku yang telah diterbitkan kepada PNS.\nDalam majlis yang sama, Encik Abang Haliman turut menyentuh tentang pertandingan Bahas Piala Premier Sarawak yang akan diadakan pada tahun ini. Beliau mengundang JPNS dan PNS untuk bekerjasama menganjurkan pertandingan tersebut. Sebelum ini, pertandingan tersebut dikenali sebagai Bahas Piala Ketua Menteri dan dianjurkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang bermula pada tahun 1986. Pertandingan tersebut terhenti semasa pandemik COVID-19 melanda.\nPenganjuran pertandingan tersebut ialah susulan daripada pertemuan Yang Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia dengan Yang Amat Berhormat Premier Sarawak sebelum ini, iaitu untuk menghidupkan semula pertandingan tersebut yang telah berjaya melahirkan pembahas dan pemidato terbaik di Sarawak." "Thaipusam Simbol Keagungan Budaya Masyarakat India\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nThaipusam merupakan hari perayaan yang disambut oleh penganut yang beragama Hindu di seluruh dunia bagi menghormati dewa Hindu, iaitu Dewa Murugan atau juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam. Tujuan utama sambutan hari Thaipusam adalah untuk menunaikan nazar dan menebus dosa atau memohon keampunan kerana dosa-dosa yang telah dilakukan.\nBulan Thai yang juga dikenali sebagai Pausa merupakan bulan ke-10 dalam kalendar Hindu dan kalendar kebangsaan India serta sepadan dengan bulan Disember atau Januari dalam kalendar Gregorian. Manakala harinya pula bertepatan dengan bintang Pusa, iaitu bintang kelapan antara 27 bintang dalam zodiak astronomi dan astrologi India serta serupa dengan buruj \u03b3, \u03b4, dan \u03b8 dalam buruj Kanser astronomi Barat dengan terbitnya bulan purnama, maka akan berlangsung sambutan hari Thaipusam.\nHari yang istimewa ini dianggap sebagai hari yang paling optimum untuk Dewa Murugan. Ramai penganut Dewa Murugan berpuasa pada hari Thaipusam untuk menunaikan nazar sebagai tanda kesyukuran kerana hajat yang diimpikan telah dimakbulkan dengan membawa dan mengusung kavadi, menjunjung belanga yang mengandungi susu (paal kudam), melaksanakan adat menindik (alagu kuthuthal), mencukur kepala dan menyembah Dewa Murugan dengan mempersembahkan buah-buahan, kuntuman bunga, setanggi, kemenyan dan lain-lain lagi berdasarkan nazar seseorang itu.\nTerdapat juga pasangan penganut Hindu yang menunaikan nazar dengan membawa bayi menggunakan anduh yang diikatkan pada beberapa batang tebu sebagai tanda berterima kasih kerana dikurniakan cahaya mata setelah sekian lama menanti untuk mempunyai zuriat sendiri.\nKavadi\nKavadi merupakan satu daripada persembahan yang dibuat kepada Dewa Murugan oleh penganut agama Hindu yang soleh. Kavadi dalam bahasa Tamil bermaksud memikul berat di bahu. Pada asasnya, kavadi merupakan struktur berbentuk busur yang dihiasi dengan bulu merak, karya kaca, dan banyak lagi barang hiasan. Berat sesetengah kavadi boleh mencecah sehingga 35 kilogram.\nPerlambangan membawa kavadi berasal daripada mitos kavadi yang mewakili gunung dan Dewa Murugan di puncaknya. Persembahan ini memerlukan banyak kuasa kehendak dan pengabdian. Antara perlambangan lain ialah kavadi dianggap sebagai persembahan yang paling bertuah dan teliti yang dipersembahkan kepada Dewa Murugan.\nDalam agama Hindu, terdapat pelbagai jenis kavadi merangkumi Pookavadi (berasaskan bunga), Vel Kavadi (berasaskan vel, iaitu lembing ketuhanan yang dikaitkan dengan Dewa Murugan selaku dewa perang Hindu), Mayil Kavadi (berasaskan bulu merak), Pazha Kavadi (berasaskan buah-buahan) dan banyak lagi. Hanya penganut Hindu lelaki sahaja yang akan mengambil dan membawa kavadi kerana hal tersebut memerlukan kekuatan fizikal yang tinggi untuk melaksanakannya.\n\u00a0Paal Kudam\nPaal Kudam yang bermaksud penawaran susu merupakan satu lagi bentuk persembahan yang popular semasa perayaan Thaipusam. Paal bermaksud susu, manakala kudam pula bermaksud bejana dalam bentuk periuk yang kebiasaannya dijunjung di atas kepala untuk dipersembahkan kepada Dewa Murugan.\nSusu tersebut kemudiannya akan digunakan oleh sami Hindu untuk melakukan upacara Paal Abhishegam, iaitu upacara agama Hindu yang mencurahkan bahan suci pada berhala Tuhan sambil mendendangkan mantra. Abhishegam merupakan perkataan daripada bahasa Sanskrit yang bermaksud memandikan atau membasahkan.\nAlagu Kuthuthal\nAlagu kuthuthal (Adat Menindik) merupakan sejenis nazar yang ditunaikan oleh penganut agama Hindu pada hari Thaipusam. Nazar ini ditunaikan dengan menindik mulut, lidah atau bahagian belakang badan menggunakan jarum logam atau cangkuk yang tajam. Upacara ini dilakukan selepas melakukan Pooja untuk Dewa Murugan agar nazar penganut itu diberkati dan kemudiannya, jarum tersebut ditusuk ke dalam mulut penganut agama Hindu melalui satu pipi ke pipi yang lain.\nPenganut Hindu tidak akan berasa sakit disebabkan berkat daripada Tuhan serta bakti dan kesetiaan mereka melakukannya. Saiz jarum yang dicucuk pada mulut dan lidah serta bilangan cangkuk yang dicucuk pada bahagian belakang badan bergantung pada nazar seseorang itu kepada Tuhan.\nPerayaan Thaipusam mempunyai sejarah yang menakjubkan di sebalik menjadi hari istimewa untuk Dewa Murugan. Menurut kepercayaan penganut agama Hindu, pada suatu masa dahulu, Dewa Shiva yang merupakan dewa tertinggi dalam mazhab Saivisme mengurniakan anugerah kepada tiga Asura, iaitu Soorapadman, Tarakasura dan Singamukhan.\nAnugerah kurniaan Dewa Shiva itu menyebabkan ketiga-tiga Asura tersebut menjadi gagah dan unggul serta mempunyai kuasa kesaktian yang hebat. Kemudian, ketiga-tiga Asura tersebut telah memenjarakan para dewa dan dewi sehingga menyebabkan mereka hidup dalam ketakutan. Para dewa dan dewi melaporkan tentang situasi dan kesusahan yang dialami mereka kepada Dewa Shiva dan memintanya untuk melindungi mereka daripada kumpulan Asura itu.\nDewa Shiva yang prihatin mendengar keluhan penderitaan para dewa dewi telah mencipta enam biji api daripada dahinya untuk memusnahkan kumpulan Asura tersebut. Kemudian enam api itu bertukar menjadi enam kanak-kanak kesemua enam kanak-kanak itu dibesarkan oleh wanita-wanita Karthigai (para isteri kepada enam daripada tujuh Saptarishi). Mereka melatih kesemua enam kanak-kanak itu supaya mahir dalam seni mempertahankan diri.\nPada suatu hari, Dewi Parvati muncul dan memeluk kesemua anaknya itu dan menyebabkan enam kanak-kanak tersebut bergabung menjadi satu. Dewa Murugan yang menjelma daripada gabungan kekuatan, tenaga dan ilmu enam kanak-kanak tersebut menjadi cemerlang dalam pelbagai bidang seni.\nDewi Parvati memberikan Gnanavel, iaitu sejenis senjata untuk menghapuskan ketiga-tiga Asura kepada Dewa Murugan yang berada dalam Aandikolam di Palani apabila dosa-dosa Asura telah penuh dan melimpah. Aandikolam merujuk kepada jelmaan Tuhan yang menggambarkan bahawa manusia yang hidup di dalam dunia khayalan harus melepaskan perasaan keangkuhan dan kemegahan diri di samping keperluan hidup untuk tidak terikat dengan sebarang kepalsuan duniawi.\nSelain itu, Aandikolam juga merujuk kepada falsafah walau seberapa banyak kekayaan yang manusia peroleh, pada pengakhiran hidup dan ajal kematian tetap akan sampai kepada Tuhan dalam keadaan yang sama seperti dilahirkan. Dewa Murugan memusnahkan ketiga-tiga Asura yang kejam itu menggunakan Gnanavel di Thiruchendur. Justeru, hari pemberian Gnanavel oleh Dewi Parvati kepada Dewa Murugan disambut sebagai hari Thaipusam.\nThaipusam disambut dan diraikan di semua kuil Dewa Murugan termasuklah Aarupadai Veedu, iaitu tempat-tempat Dewa Murugan tinggal untuk berperang dengan para Asura meliputi Thiruparangunram, Thiruchendur, Palani, Swamimalai, Thiruthani, Solaimalai dan semua kuil Dewa Shiva. Thaipusam disambut dengan meriah bukan sahaja di Tamil Nadu, bahkan di setiap pelosok dunia seperti Malaysia dan Singapura oleh masyarakat India yang berbilang etnik.\nDi Malaysia, terdapat lima lokasi terkenal untuk sambutan Thaipusam. Lokasi paling popular dalam kalangan masyarakat Malaysia ialah Kuil Arulmigu Balathandayuthabani, George Town, Pulau Pinang dan Kuil Sri Subramaniyar Swami, Batu Caves, Selangor. Para penganut agama Hindu turut membanjiri Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh, Ipoh, Kuil Sivasagar, Kuching dan Kuil Sri Muniswarar, Tampoi, Johor bersempena sambutan hari Thaipusam.\nTidak ketinggalan upacara paling penting pada hari Thaipusam, iaitu berhala Dewa Murugan yang diusung di atas pedati perak dan emas serta diiringi dengan muzik tradisi dari rumah ibunya (kuil Dewi Parvati) hingga ke tempat kediamannya (kuil Dewa Murugan). Penganut Hindu yang menunaikan nazar harus berpakaian warna kuning supaya hasrat mereka tercapai dan diberkati.\nSecara keseluruhannya, Thaipusam bukan sahaja merupakan perayaan tradisi tahunan, malah dizahirkan sebagai sebahagian daripada keunikan budaya majmuk di Malaysia." "Forum Peradaban Alam Melayu Membuka Rahsia Kehebatan Tamadun Bangsa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Forum Peradaban Alam Melayu yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP pada pagi ini.\nForum yang diadakan untuk merungkai dan berkongsikan segala fakta tersembunyi tentang sejarah peradaban alam Melayu dan kehebatan bangsa Melayu pada zaman kuno yang jarang-jarang dikongsikan umum ini menampilkan dua orang sarjana terkemuka, iaitu Pakar Nahu Bahasa Arab dan Falsafah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, YBhg. Profesor Dr. Solehah Yaacob dan Pakar Geologi dan Arkeologi, Universiti Sains Malaysia, YBhg. Datuk Profesor Dr. Mokhtar Saidin serta Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang bertindak sebagai moderator.\nDalam ucapan Pengarah Program Forum Peradaban Alam Melayu, Puan Seri Fatini Yaacob, beliau menyatakan bahawa forum ini diadakan untuk berkongsikan ilmu tentang alam Melayu dan membangkitkan rasa bangga serta penghargaan kepada pengkaji tamadun bangsa Melayu yang mempunyai sumber ilmu yang sangat luas.\nSelaras dengan moto PEMBELA, iaitu menjunjung agama, memartabatkan bangsa dan mempertahankan negara, maka PEMBELA mengambil inisiatif untuk mengadakan forum ini. Projek ini dirintis melalui pertemuan antara pihak PEMBELA dengan YBrs. Profesor Dr. Solehah Yaacob dan YBhg. Datuk Profesor Dr. Mokhtar Saidin. Berdasarkan lautan ilmu yang dimiliki oleh kedua-dua pengkaji ini, kami mengajak mereka untuk bersama-sama berkongsi tentang sejarah unggul alam Melayu dan hubungannya dengan peradaban dunia lain bagi membolehkan ilmu ini dimanfaatkan oleh anak bangsa Melayu.\nMenurut Pengerusi PEMBELA, Tuan Mahmud Hishamuddin Abd Rashid dalam ucapan alu-aluannya, peradaban bagi orang Melayu tidak boleh terpisah dari segala rukun dan prinsip. Oleh sebab itu, cara kita untuk memahami, mentafsir, menggarap dan menghuraikan apa-apa isu berkaitan dengan peradaban Melayu mestilah berada dalam kerangka ilmu.\nPeradaban orang Melayu jangan kita bataskan dengan pencapaian dari segi material semata-mata, tetapi mesti dihubungkaitkan dengan kepentingan pencapaian spiritual. Peradaban bagi orang Melayu juga jangan hanya membawa sejarah, tetapi seharusnya membawa khazanah, pengajaran dan penyuluh jalan agar kita tidak mengulangi kesilapan masa lalu.\nUjarnya lagi, bicara mengenai peradaban Melayu seharusnya melangkaui batasan sejarah dan kepentingan dunia serta merentasi pandangan dunia.\n\u201cBiarlah kita berbicara mengenai peradaban orang Melayu yang akan membawa umat ini menjadi pelopor idea bagi kemajuan, pengkritik yang membina, penyelesai masalah dan membuka jalan serta mercu pencapaian yang selari dengan tuntutan zaman dan politik semasa.\u201d ujarnya mengakhiri ucapan.\nForum Peradaban Alam Melayu ini juga diserikan dengan pameran dan jualan buku sejarah serta busana yang diadakan di ruang legar Balai Budaya Tun Syed Nasir.\nTurut hadir dalam program ini ialah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, dif kehormat, ahli jawatankuasa PEMBELA dan tetamu undangan." "Peradaban Melayu dan Bukti Ketamadunan Bangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kajian yang berkaitan dengan peradaban Melayu perlu dilaksanakan secara lebih mendalam supaya terangkatnya teori alam Melayu di seluruh dunia.\nSusulan itu, Forum Peradaban Alam Melayu anjuran Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP, hari ini. Forum ini merungkai fakta baharu melalui kajian secara terperinci tentang peradaban alam Melayu untuk mengangkat semangat jati diri dan membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap nilai peradaban Melayu.\nForum ini menampilkan dua orang ahli panel undangan, iaitu Pakar Nahu Bahasa Arab dan Falsafah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, YBhg. Profesor Dr. Solehah Yaacob dan Pakar Geologi dan Arkeologi, Universiti Sains Malaysia, YBhg. Profesor Datuk Dr. Mokhtar Saidin dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan selaku moderator.\nPenganjuran forum ini bermatlamat untuk mencungkil dan mengeluarkan segala fakta tersembunyi tentang kehebatan bangsa Melayu, membangkitkan rasa bangga dan memberikan penghargaan kepada pejuang agama dan tamadun bangsa serta mendidik rasa kasih generasi pada masa ini kepada bangsa, agama dan negara.\nMajlis ilmu ini dimulakan oleh YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang menyatakan bahawa DBP sentiasa memberikan sokongan terhadap segala kegiatan untuk mengangkat benteng tamadun negara yang berteraskan Melayu Islam.\nKita tidak melihat sejarah alam Melayu itu sebagai suatu sejarah yang terputus. Pada hakikatnya, alam Melayu ini berkesinambungan dengan sejarah tamadun awal manusia. Hal ini adalah penting untuk dikembangkan dan diperluaskan bagi memenuhi teori alam Melayu, yakni yang dikaitkan dengan sifat fitrah tamadun Melayu yang berasaskan kesinambungan sejarah awal manusia.\n\u201cIntelektual, kebolehan berbahasa dan kebolehan menganalisis terhadap sesuatu perkara telah melahirkan tamadun besar manusia di atas muka bumi ini,\u201d ujar YBhg. Profesor Dr. Solehah Yaacob yang membuka tirai perkongsiannya dalam forum ini.\nBeliau turut menyatakan bahawa banyak data tamadun kuno Champa-Melayu yang hilang dan tidak dapat ditemukan dalam mana-mana catatan sejarah. Selain itu, beliau juga mendapati terdapat unsur hukum yang menyatakan kewujudan bangsa Melayu di alam kuno. Kebanyakan catatan sejarah Barat juga tidak melaporkan data yang berkaitan dengan tamadun Melayu bertarikh antara dua hingga tiga Sebelum Masihi di alam Melayu.\nSebelum mengakhiri perkongsiannya, beliau mencadangkan beberapa inisiatif untuk mengembangkan ilmu peradaban alam Melayu dengan lebih luas seperti mengusahakan penerbitan buku sejarah asal tamadun kuno Champa-Melayu yang menjadi asas pembentukan bangsa asal Melayu.\nSelain itu, DBP juga disarankan untuk menghasilkan kamus bahasa kuno Champa-Melayu dalam bahasa Melayu moden bagi membolehkan masyarakat mengetahui asal usul bangsa yang pupus. Beliau turut menyarankan agar bantuan yang sewajarnya oleh pihak berwajib disalurkan kepada pihak pertubuhan bukan kerajaan bagi menggerakkan usaha dan kajian yang lebih menyeluruh berkaitan dengan bangsa dan tamadun Melayu.\nSementara itu, YBhg. Datuk Dr. Mokhtar Saidin memaparkan pelbagai bukti penemuan ribuan tapak peleburan besi di Sungai Batu, Kedah sekali gus membuktikan kehebatan tamadun Melayu kuno pada masa lalu dalam forum yang berlangsung hampir dua jam ini.\nSaya hanya menjalankan kajian di Sungai Batu, namun tidak disangka-sangka bahawa data yang dikumpulkan itu memberikan kesan kepada dunia. Penemuan ini membuktikan telah wujudnya suatu industri yang telah dilaksanakan di Kedah sekali gus membuktikan terlaksananya satu tamadun bangsa yang hebat.\nDalam forum ini juga, beliau berkongsikan gambar tapak peleburan besi di Sungai Batu. Tapak ini ditemukan melalui penemuan relau, \u201ctuyere\u201c dan besi mentah. Hasil peleburan besi yang turut ditemukan di tapak ini ialah arang, abu peleburan, jongkong besi dan sisa besi.\nSecara keseluruhannya, beliau merumuskan bahawa Kedah ialah tempat pengeluar jongkong besi. Setakat ini, berdasarkan data yang diperoleh, telah wujudnya industri peleburan besi sejak 788 Sebelum Masihi dan hal ini menjadi bukti bermulanya suatu tamadun di Kedah Tua.\nTurut hadir dalam majlis ini ialah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, Pengerusi PEMBELA, Tuan Mahmud Hishamuddin Abdul Rashid, Pengarah Program Forum Peradaban Alam Melayu, Puan Seri Fatini Yaacob, dif kehormat, ahli jawatankuasa pelaksana program, peserta daripada pelbagai pertubuhan dan institusi serta tetamu undangan yang lain." "Karya Seni Mampu Menyemarakkan Semangat Perpaduan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Art Market Malaysia sedang menganjurkan Pameran Seni Perpaduan atau Unity Art Exhibition di Shoppes at Four Seasons Place, Kuala Lumpur bermula dari 15 Januari hingga 15 Februari 2023.\nMajlis perasmian pameran ini telah disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara, Yang Berhormat (YB) Datuk Aaron Ago Dagang pada petang 2 Februari 2023.\nMenurut YB Datuk Aaron Ago Dagang, karya seni mampu menyemarakkan lagi semangat perpaduan serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia dan seterusnya membawa masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa menuju ke arah Malaysia Madani.\n\u201cMadani bermakna beradab dan kerajaan ingin membawa masyarakat Malaysia ke tahap yang lebih tinggi sebab masih banyak yang perlu ditambah baik dalam kalangan masyarakat dari segi keterampilan, kemampanan, kepercayaan dan saling menghormati dalam menuju ke arah masyarakat madani,\u201c kata YB Datuk Aaron Ago Dagang.\nYB Datuk Aaron Ago Dagang turut meluahkan rasa kagumnya terhadap karya-karya yang terdapat dalam Pameran Seni Perpaduan dan ada antara karya-karya tersebut merupakan hasil karya daripada pelukis golongan Orang Kurang Upaya.\n\u201cKarya seni yang baik boleh mengumpulkan segenap lapisan masyarakat untuk bersama-sama menikmati keunikan hasil karya yang dihasilkan terutamanya jika karya tersebut membawa pelbagai mesej yang positif, khususnya mesej yang bertemakan perpaduan dan kenegaraan,\u201d ujar YB Datuk Aaron Ago Dagang.\nTambah beliau lagi, kesenian juga mampu menyemarakkan perpaduan apabila artis daripada pelbagai kaum dan etnik berkumpul bersama-sama dalam program seperti Pameran Seni Perpaduan ini.\nDalam majlis tersebut turut diumumkan para pemenang bagi Asia Art Show Sydney Online Art oleh ketua juri pertandingan tersebut, iaitu Encik Zunar. Para pemenang menerima e-sijil di samping hasil karya seni mereka bakal dipamerkan dalam galeri AsiaArtShow @Four Seasons Shoppes KL, Malaysia selama tiga bulan dan disenaraikan dalam laman sesawang asiaartshowgallery.com.\nPameran yang berlangsung selama sebulan ini memberi peluang kepada para artis tempatan termasuklah golongan artis kurang upaya, kanak-kanak dan ekspatriat untuk menampilkan karya mereka kepada orang ramai dan pembeli yang berminat." "Temasya Warna-warni Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis Mengeratkan Ukhuwah antara Raja dengan Rakyat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Perlis \u2013 Majlis perasmian \u201cTemasya Warna-warni Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis\u201d yang berlangsung di Perkarangan Dataran Semarak Projek Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai Kuala Perlis disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil baru-baru ini.\nTurut hadir bagi menyambut ketibaan baginda berdua ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Sri Suriani Dato\u2019 Ahmad, Ketua Pengarah Kementerian Belia dan Sukan, Mohd Azhari Mohammad, Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia (MFWDA), Mohd Khairol Nizam Mohamad Ibrahim Khan dan Penasihat MFWDA, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.\nMajlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama MFWDA menganjurkan program temasya ini bermula dari 3 hingga 5 Februari 2023. Selain itu, program temasya ini turut melibatkan kerjasama daripada pelbagai pihak. Antaranya termasuklah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM).\nPelbagai aktiviti, pertandingan, pameran dan jualan kepada para pengunjung bersempena program temasya ini turut mendapat sokongan padu daripada sektor swasta merangkumi Syarikat Adabi, Nasty Group, Pertubuhan Warisan Patriotik Malaysia, MyFundAction, Kolej Antarabangsa Murni, EST Infinity, Aec Machinery, Idillick Partners, Easy Paint, Akademi Binaan Malaysia.\nSepanjang program temasya ini berlangsung, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan. Antaranya termasuklah Pertandingan Cabaran 4\u00d74 KBS, Perkhemahan 4\u00d74, Pertandingan RC Crawler Offroad 4\u00d74, Pertandingan Kenderaan Mini RC Crawler 4\u00d74, Pertandingan Sukan E-Sport, Pertandingan Mewarna serta Pertandingan Memasak Cita Rasa Adabi bersama-sama Chef Mohd Irwan Mohd Nor.\nDi samping itu, dalam program temasya ini turut diadakan aktiviti \u201cSlide Pool\u201d, Ceramah Ziarah Mahabbah, Senaman Pagi, Pertandingan Kopi Tarik, Pertandingan Sukan Rakyat dan Permainan Tradisional, Pertandingan RC BOAT, Konvoi Cabaran 4\u00d74 KBS, Konvoi Program CSR, Penyerahan Fasiliti Kemudahan Awam, Program CSR Penyerahan Barangan kepada Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis serta Program Sukarelawan Together We Lend a Hand \u201cLove the Environment\u201d.\nDYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan mencemar duli untuk meluangkan masa meninjau lokasi pertandingan 4\u00d74 Challenge serta tempat pertandingan memasak Cita Rasa Adabi di samping beramah mesra dengan masyarakat setempat." "Bunga Raya Lambang Keunikan Malaysia Sempena Nguyen Hu Flower Street Festival\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHo Chi Minh \u2013 Tourism Malaysia meningkatkan usaha untuk mempromosikan Malaysia kepada warga Vietnam bersempena Nguyen Hu Flower Street Festival di Ho Chi Minh City, Vietnam bermula dari 19 hingga 26 Januari 2023 yang lalu.\nSewaktu lapan hari festival tersebut berlangsung, pihak Tourism Malaysia mengambil kesempatan untuk menampilkan taman-taman yang ada di Malaysia sebagai satu daripada tarikan pelancongan untuk dikunjungi oleh warga Vietnam. Bunga kebangsaan Malaysia, iaitu bunga raya yang melambangkan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang budaya, bangsa dan agama di Malaysia telah ditonjolkan dalam hiasan di ruang pameran Malaysia sempena festival tersebut.\nSepanjang 20 tahun yang lalu, festival ini telah menjadi acara tarikan pelancongan, kebudayaan dan hiburan tahunan untuk meraikan Percutian Tet yang merupakan Tahun Baharu Lunar Tradisional Vietnam. Pada tahun ini, acara itu mengalu-alukan kehadiran 1.2 juta pengunjung termasuklah para pelancong antarabangsa dari Indonesia, Laos, Thailand, Kanada, Australia dan Amerika Syarikat.\nKetua Pengarah Tourism Malaysia, Dato\u2019 Zainuddin Abdul Wahab berkata, pada tahun 2019 sebelum pandemik wabak COVID-19 melanda, pihaknya telah mengalu-alukan ketibaan 400 346 orang pelancong dari Vietnam. Manakala bagi tahun 2022 pula, kira-kira 173 763 orang pelancong dari Vietnam telah melawat Malaysia.\n\u201cPada tahun ini, kami berhasrat untuk mencapai sasaran kehadiran 15.6 juta orang pelancong antarabangsa dengan jumlah RM47.6 bilion dalam resit pelancongan. Di samping itu, kami juga optimis dengan lebih daripada 234 000 orang pelancong akan hadir dari Vietnam. Kami juga berharap agar pasaran pelancongan ini akan terus memainkan peranan yang penting dalam mencapai sasaran jumlah kehadiran pelancong dari Vietnam,\u201d ujar Dato\u2019 Zainuddin Abdul Wahab.\nUntuk makluman, Vietnam kekal sebagai satu daripada pasaran pelancongan yang penting bagi Malaysia. Dari segi ketersambungan, kini terdapat 120 penerbangan pada setiap minggu dari Vietnam ke Malaysia dengan lebih 21 000 tempat duduk menerusi perkhidmatan Malaysia Airlines, Vietnam Airlines, VietJet Air, Batik Air dan AirAsia." "Kuala Lumpur dalam Lagu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSejak diasaskan oleh Sutan Naposo, Kuala Lumpur semakin membangun dan berkembang pesat hingga kini menjadi sebuah kota metropolitan. Kuala Lumpur yang merupakan ibu kota negara Malaysia disifatkan sebagai nadi pembangunan negara. Rakyat Malaysia pasti tahu dan kenal dengan bandar raya ini, malahan sebahagian besarnya mempunyai pengalaman tersendiri menjejakkan kaki di Kuala Lumpur menerusi aktiviti ekonomi, pendidikan, sosial, politik, pelancongan, kebudayaan dan lain-lain. Pengalaman itu sering kali dirakam dalam pelbagai bentuk genre termasuklah filem, novel, cerpen, puisi, lagu, artikel, anekdot dan seumpamanya mengikut minat, disiplin ilmu, cita rasa dan kemampuan perakam tersebut.\nDalam konteks muzik, nama Kuala Lumpur sering diungkapkan menerusi lagu termasuklah judul sesebuah lagu. Sepanjang tempoh enam dekad bermula pada era 1960-an hingga kini, nama Kuala Lumpur tercatat sebagai judul dalam beberapa buah lagu yang mengisahkan pelbagai pengalaman kehidupan. Ada kisah yang berkaitan dengan Kuala Lumpur itu sendiri, kisah cabaran kehidupan di kota raya, sikap penghuni Kuala Lumpur, kisah cinta berlatarbelakangkan Kuala Lumpur dan pelbagai lagi. Kisah Kuala Lumpur dalam lagu boleh dijadikan sebagai bahan kajian kepada pencinta bahasa dan budaya masyarakat, khususnya rakyat Malaysia.\nSeawal era 1960-an, nama Kuala Lumpur dalam judul lagu dapat diteliti menerusi lagu ciptaan P. Ramlee yang bertajuk Kuala Lumpur. Lagu ini diterbitkan pada tahun 1964 dan dinyanyikan oleh Saloma dalam filem Ragam P. Ramlee menerusi segmen drama muzikal. Kota Kuala Lumpur dalam lagu ini diperkenalkan sebagai ibu negara Malaysia, suasana kehidupan warganya yang harmoni dengan pelbagai bangsa dan potensinya sebagai tempat tarikan untuk dikunjungi.\nKuala Lumpur\nKuala Lumpur ibu negeri\nSangat masyhur sangat ramai\nKotanya bersih oh oh oh\nHawa nyaman saban hari\nHidup aman segala bangsa\nSatu hati oh oh oh\nIbu negeri Malaysia\nDah terkenal aman makmur\nDi mata dunia.\nJikalau tuan ingin akan penghibur\nSila datang Kuala Lumpur\nDalam filem yang sama, nama Kuala Lumpur turut diungkapkan menerusi lagu Joget Malaysia dendangan P. Ramlee dan Saloma yang bertepatan dengan kelahiran sebuah negara baharu bernama Malaysia yang terbentuk setahun sebelum itu. Terdapat beberapa rangkap pantun dalam lagu tersebut dan satu daripadanya menyebut Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia.\nJoget Malaysia\nP. Ramlee:\nKe pasar lama membeli serai,\nSinggah bertanya Datuk Menteri;\nKalau Saloma orang yang pandai,\nDi mana letak ibu negeri?\nSaloma:\nAnaklah bilal dari Mentakab,\nPergi ke Johor buat kenduri;\nEncik Ramlee soal mudah dijawab,\nKuala Lumpur ibu negeri.\nEmpat tahun selepas itu, P. Ramlee juga telah mengabadikan nama Kuala Lumpur dalam judul lagu Keroncong Kuala Lumpur. Lagu ini turut dimuatkan dalam filem Anak Bapak yang diterbitkan pada tahun yang sama. Menerusi lagu ini, Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia digambarkan sebuah negara yang aman hasil kemerdekaan, kesuburan tanahnya, kekayaan hasil mahsul dan kehidupan rakyat Malaysia yang sehati sejiwa menerusi penggunaan satu bahasa.\nKuala Lumpur\nibu negara Malaysia\naman serta makmur\nsetelah merdeka.\nLagu ini diakhiri dengan kisah Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran negara yang mengamalkan sistem demokrasi.\nwaktu malam\ncahaya menjulang tinggi\nparlimen tersergam\nlambang demokrasi\nMemasuki era 1970-an, nama Kuala Lumpur sebagai judul lagu masih berkisar dalam lagu ciptaan P. Ramlee. Air Mata di Kuala Lumpur ialah lagu gubahan terakhir beliau yang dinyanyikan oleh Saloma. Kuala Lumpur dalam lagu ini tidak lagi menceritakan kisah bandar raya itu, sebaliknya berkisar tentang kisah P. Ramlee sendiri yang merupakan pencipta dan penulis lirik lagu berkenaan. Melodi yang sayu dan lirik yang hiba menggambarkan situasi P. Ramlee pada masa itu yang dikatakan tidak lagi mendapat sokongan dan perhatian masyarakat. Dalam lagu tersebut, P. Ramlee menggambarkan situasi yang dihadapinya seperti yang berikut:\nHancur musnah impian mulia\nistana kubina menjadi pusara\ngelaplah pasti masa hadapan\njiwaku merayau utara dan selatan.\nHidup sudah tiada bererti\nzahirku hidup batinku mati\nremuk redam hatiku hancur\nair mata di Kuala Lumpur.\nSelain lagu itu, tidak banyak lagu yang menggunakan nama Kuala Lumpur sebagai tajuk dalam era 1970-an. Namun begitu, pada era 1980-an, nama Kuala Lumpur dalam judul lagu kembali menyerlah dengan pelbagai kisah. Ada kisah cinta, kisah perjuangan hidup penghuni Kuala Lumpur dan kisah cabaran meneruskan kehidupan di bandar raya setelah lebih tiga dekad negara merdeka.\nKisah cinta berlatarbelakangkan Kuala Lumpur terungkap dalam lagu Senja di Kuala Lumpur nyanyian Broery Marantika dan Senyumlah Kuala Lumpur oleh Alleycats. Manakala kisah cabaran hidup di ibu negara Malaysia ini digarapkan dalam lagu Kuala Lumpur Oh Kuala Lumpur oleh Malek Ridzuan dan Sesat di Kuala Lumpur oleh M. Nasir dan Kembara.\nKuala Lumpur menjadi tumpuan sebagai kota tempat rakyat Malaysia meneroka peluang pekerjaan, pendidikan, pelancongan, kebudayaan dan sebagainya. Dalam setiap penerokaan itu, manusia saling bertemu dan berkomunikasi. Di kota inilah dua insan bertemu, menjalin hubungan cinta dan membina kenangan serta nostalgia. Broery Marantika menerusi lagu Senja di Kuala Lumpur yang dicipta oleh Ahmad Nawab mengungkapkan bandar raya ini sebagai latar kisah percintaan antara dua insan terutamanya pada waktu\u00a0 senja. Suasana senja itulah yang membangkitkan kenangan dan menggamit nostalgia percintaan mereka.\nLagu Senyumlah Kuala Lumpur pula mempunyai lirik yang agak puitis. Gabungan sentuhan seni M. Nasir dan S. Amin Sahab sebagai pencipta dan penggubal lirik sering menghasilkan lagu-lagu yang puitis dengan maksud yang mendalam. Dalam Senyumlah Kuala Lumpur, kisah cinta antara dua jiwa digarap dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai lokasi pertemuan yang membibitkan perasaan cinta antara dua jiwa. Lebuh raya, papan tanda dan tugu negara adalah antara objek yang dijadikan simbolik sebagai penyokong dan pengukuh hubungan cinta dua jiwa ini di samping dedikasi ucapan terima kasih kepada Kuala Lumpur kerana mempertemukan cinta antara mereka berdua pada akhir lagu.\nKuala Lumpur dalam lagu terus diabadikan menerusi pelbagai kisah yang sesuai dengan prasarana ibu kota ini yang menggamit tumpuan ramai. Kuala Lumpur merupakan ibu kota yang menjadi harapan bagi anak muda lepasan sekolah untuk cuba mengubah nasib ke arah kehidupan yang lebih baik. Kuala Lumpur menjadi destinasi perantau dari seluruh pelosok negara dan kebanyakan perantau yang mencari rezeki di Kuala Lumpur percaya bahawa bandar raya ini merupakan lubuk rezeki.\nKota raya ini menjanjikan harapan kepada perantau walaupun cabaran yang menanti untuk memenuhi harapan tersebut amat besar. Kisah tentang harapan, cabaran, kehidupan pelbagai kaum di kota raya serta rasa bangga dengan keindahan Kuala Lumpur dialunkan oleh Malek Ridzuan dalam lagu Kuala Lumpur Oh Kuala Lumpur sebagai gambaran suara hati seorang perantau yang berhijrah ke ibu kota seorang diri.\nKuala Lumpur sebagai kota raya dan ibu negara Malaysia boleh menjanjikan harapan kepada sesiapa sahaja. Walau bagaimanapun, harapan boleh menjadi kenyataan atau hanya tinggal harapan. Kuala Lumpur berkemungkinan besar akan membuktikan kejayaan yang dikecapi oleh seseorang ataupun boleh membawa\u00a0 kehancuran jika seseorang itu terjebak dengan amalan negatif di kota raya tanpa dapat membezakan antara dosa dengan pahala. Hal inilah yang diungkapkan oleh M. Nasir dalam lagu Sesat di Kuala Lumpur yang mengisahkan kebarangkalian akan menemui kebahagiaan, kecewa, terpedaya dan beroleh kekayaan tetapi hati serta jiwa masih tidak tenteram dan akhirnya lupa daratan atau lupa asal usul sendiri.\nSelain itu, kota Kuala Lumpur turut diabadikan dalam lirik lagu seperti lagu Chow Kit Road oleh Sudirman Haji Arshad pada tahun 1981. Chow Kit Road merupakan satu daripada jalan di Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan ramai. Sudirman Haji Arshad yang juga dikenali sebagai Seniman Rakyat turut mengadakan Konsert Gergasi secara percuma di jalan tersebut pada tahun 1986 bagi menghargai para peminatnya. Chow Kit Road dan Kuala Lumpur amat sinonim kerana apabila disebut nama Chow Kit, maka tergambarlah bandar raya Kuala Lumpur kerana nama Jalan Chow Kit disusuli dengan nama bandar raya Kuala Lumpur.\nMemasuki era 1990-an, iaitu setelah empat dekad negara merdeka, nama Kuala Lumpur dalam lagu tidaklah begitu meriah seperti sebelumnya. Namun nama Kuala Lumpur diabadikan dalam lagu Tragedi antara Penang dan Kuala Lumpur. Lagu nyanyian Poppy Mercury ini mengisahkan hubungan dua insan yang terpisah setelah seorang daripadanya bertemu Ilahi. Kuala Lumpur dalam lagu ini hanyalah nama bandar yang menjadi destinasi perjalanan penyanyi tersebut sewaktu mendapat berita tentang kematian kekasihnya.\nMemasuki alaf baharu, nama Kuala Lumpur masih mewarnai lirik lagu di negara ini. Kumpulan The Times dan Hujan mengabadikan nama Kuala Lumpur dalam lagu mereka, iaitu Panik di Kuala Lumpur, Singapura ke Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur. Ketiga-tiga lagu itu diterbitkan pada sekitar tahun 2007 hingga tahun 2008. Manakala Ana Raffali pula mendendangkan lagu Hujan Bunga di Kuala Lumpur pada tahun 2010.\nKebimbangan corak kehidupan seorang remaja yang masih mentah digambarkan dalam lagu Panik di Kuala Lumpur, manakala dalam lagu Singapura ke Kuala Lumpur, nama Kuala Lumpur digarap sebagai satu destinasi perjalanan penyanyi itu dari Singapura menuju ke Kuala Lumpur. Dalam lagu Kuala Lumpur pula, Kumpulan Hujan mengisahkan Kuala Lumpur sebagai ibu kota yang semakin maju setelah hampir separuh abad negara merdeka. Lagu ini juga pernah dipopularkan oleh Tilu. Ana Raffali dalam lagu Hujan Bunga di Kuala Lumpur menceritakan kehidupannya di Kuala Lumpur yang bertemu dengan lelaki idaman hati menerusi simbolik \u201chujan bunga\u201d yang merujuk kepada pemberian bunga daripada seorang lelaki yang jatuh cinta terhadap dirinya.\nMemasuki dekad kedua alaf baharu, suasana Kuala Lumpur juga dirakamkan menerusi lagu berjudul Kotarayaku. Versi pertama lagu ini dinyanyikan oleh Tom pada tahun 2012 dan versi kedua pula dinyanyikan oleh vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh dengan tambahan lirik rap oleh Altimet. Lagu ini berkisarkan kehidupan di kota raya Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan pelbagai kegiatan sehingga menjadikan ibu kota ini sentiasa hidup dan \u201ctidak pernah tidur\u201d. Pada tahun yang sama, Yuna dan Qi Razali mengabadikan nama Kuala Lumpur dalam lagu KL Kita yang mengisahkan Kuala Lumpur sebagai ibu kota yang memberi harapan dan semangat dalam kehidupan mereka.\nMengakhiri dekad kedua alaf baharu, nama Kuala Lumpur diabadikan dalam lagu Surat Cinta Kuala Lumpur ciptaan dan nyanyian Datuk Ramli Sarip. Lagu Surat Cinta Kuala Lumpur ini agak berbeza dengan lagu-lagu Kuala Lumpur yang lain kerana menjadi lagu tema sempena Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020. Malaysia telah melakar sejarah apabila Kuala Lumpur diiktiraf sebagai Ibu Kota Buku Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), iaitu bandar raya ke-20 yang mendapat pengiktirafan tersebut sejak diperkenalkan pada tahun 2001. Kuala Lumpur dipilih kerana fokus yang tinggi terhadap pendidikan yang inklusif, pembangunan masyarakat berasaskan ilmu pengetahuan dan kebolehcapaian membaca para penduduknya.\nKesimpulannya, Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia sentiasa menjadi tumpuan rakyat tempatan dan \u00a0warga luar. Bermula dengan pusat petempatan awal di pertemuan dua batang sungai, Kuala Lumpur berkembang pesat sehingga kini menjadi kota metropolitan dan destinasi tumpuan yang mewujudkan pelbagai komunikasi ekonomi, pendidikan, pentadbiran, budaya, teknologi dan sebagainya. Oleh sebab itu, nama Kuala Lumpur pasti akan terus diabadikan dalam karya-karya seni termasuklah sebagai judul lagu atau dalam lirik sesebuah lagu. Kuala Lumpur tetap hidup dalam jiwa rakyat Malaysia sebagai ibu negara kebanggaan semua." "SDW 2023 Menonjolkan Keunikan Reka Bentuk Kreatif Kraf tangan dan Perabot\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Bersempena penganjuran Sarawak Design Week 2023 (SDW 2023) yang bakal berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) bermula dari 13 hingga 16 Februari 2023 bakal menampilkan lebih buah 200 gerai pameran.\nPenganjuran SDW 2023 yang dianjurkan dengan kerjasama Sarawak Design Centre (SARADEC) dan Institut Teknologi Bandung (ITB) Indonesia turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan.\nSelain itu, pameran yang julung-julung kali diadakan ini bakal menampilkan pelbagai produk kraf tangan yang menarik dan direka khas sesuai dengan hiasan dalaman rumah serta produk rekaan kayu-kayan buatan tempatan dan antarabangsa. Pameran SDW 2023 turut menampilkan pelbagai produk kraf tangan dan produk perkayuan yang dihasilkan khas dari Indonesia.\nMenurut Tan Sri Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Premier Sarawak, SARADEC bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan ITB untuk melatih pereka kreatif dengan menghantar para graduan untuk menimba ilmu, pengalaman serta kemahiran bagi mencipta perabot yang unik untuk dipasarkan ke pasaran global.\n\u201cKerajaan negeri Sarawak mengambil pendekatan yang serius bagi mengubah industri berasaskan kayu dengan melaksanakan beberapa langkah merangkumi melahirkan pereka muda yang memiliki kreativiti yang mampu menghasilkan produk perabot. Selain itu, penganjuran SDW 2023 juga bermatlamat untuk menonjolkan hasil rekaan serta prototaip perabot oleh golongan pereka muda,\u201d ujar Tan Sri Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Premier Sarawak sewaktu merasmikan SDW2023.\nPameran SDW 2023 tersebut turut disertai beberapa nama besar yang amat dikenali dalam industri produk tempatan. Antaranya termasuklah Yayasan Tun Jugah, Centexs Commercial, Ran & Nong Creations serta UNIMAS.\nPersatuan Industri Perabot Sarawak (SFIA) bakal mempamerkan pelbagai teknologi elektrik dan elektronik merangkumi rekaan dalaman dan perabot di reruai mereka. Manakala Pavilion SayD\u2019Signers yang bertempat di ruangan utama pameran pula bakal menampilkan pelbagai rekaan perabot yang dihasilkan oleh para pereka muda Bumi Kenyalang.\nPameran SDW 2023 ini mendapat sokongan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Terminal Industri (MINTRED), Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (STIDC), Jabatan Perhutanan Sarawak serta beberapa syarikat swasta lain." "Kaki Bukit dan Wang Kelian Lambang Keunikan Produk Pelancongan Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKaki Bukit \u2013 \u201cPekan Kaki Bukit di negeri Perlis mempunyai pelbagai tarikan yang tersendiri merangkumi sejarah, tempat ibadat, keunikan dan keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara. Selain itu, keunikan dan kepelbagaian biologi di Taman Negeri Perlis khususnya Wang Kelian mempunyai potensi yang sangat tinggi untuk menarik pelancong dari dalam dan luar negara. Antaranya termasuklah Jalan Tasik Meranti yang berpotensi untuk dijadikan sebagai jejak warisan (heritage trail) bagi peminat aktiviti pendakian dan mengembara atau berbasikal untuk menikmati keindahan hutan hujan tropika serta menjalankan hobi memerhati hidupan liar.\u201c\n\u201cPada masa yang sama, terdapat pelbagai produk menarik disediakan di sekitar Kaki Bukit dan Wang Kelian, Perlis yang mampu diintegrasikan menjadi satu produk pelancongan yang terbaik.\u201d\nDemikian makluman yang dipersembahkan kepada Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersempena dengan Sesi Taklimat Kemajuan Projek Warisan Budaya di Wang Kelian oleh Team Roots & Shoots Malaysia yang disampaikan oleh Peter Ong selaku ketua projek di Kompleks Taman Negeri Perlis, Wang Kelian, Perlis.\nTurut hadir mengiringi Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyaksikan perkembangan pelaksanaan projek buku, pameran dan dokumentari yang dihasilkan oleh pihak Roots & Shoots Malaysia menerusi pengumpulan maklumat gambar-gambar dan siaran video yang ditayangkan ialah anakanda sulung baginda, Yang Teramat Mulia (YTM) Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis (Pelancongan), Puan Wan Badariah Wan Saad.\n\u201cObjektif utama penubuhan pusat ini adalah untuk merungkai kepelbagaian biologi di Taman Negeri Perlis dan seterusnya didokumenkan untuk menjadi bahan rujukan kepada para penyelidik pada masa hadapan. Pusat ini menggalakkan aktiviti dan kegiatan penyelidikan serta pembelajaran untuk menjadikan Wang Kelian sebagai rujukan sumber kepelbagaian biologi di zon utara tanah air,\u201d ujar Ag. Shaffie Ag. Ahmadni, Pengarah Perhutanan Negeri Perlis.\nDi samping itu, beliau turut melaporkan pembangunan Wang Kelian dan secara khususnya pembangunan Pusat Kepelbagaian Biologi Negara Wang Kelian di bawah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis menerusi peruntukan daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dari tahun 2021 hingga tahun 2023.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan berkunjung ke kedai makan Dapur Kak Neng yang beroperasi di Kampung Wang Kelian yang mempunyai latar belakang panorama yang indah meliputi pemandangan sawah padi dan Banjaran Nakawan. Selain menyediakan menu makanan yang enak, kedai makan Dapur Kak Neng turut menjadi lokasi tumpuan untuk memerhati burung Bendang dan burung-burung yang menggunakan kawasan banjaran ini sebagai laluan utama mereka.\nDi samping itu, baginda juga berkenan menyaksikan aktiviti \u201cJiwa Murni\u201d yang disempurnakan oleh Rejimen 504 Askar Wataniah yang diketuai oleh Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji yang melaksanakan aktiviti gotong-royong membersihkan longgokan sampah yang tersangkut di dalam sungai berhampiran gua di sekitar kawasan Kaki Bukit bagi menjayakan inisiatif \u201cPerlis Hebat! Rakyat Hidup Bersih\u201d serta berkunjung ke empat lokasi menarik di sekitar Kaki Bukit, iaitu Tokong Kaki Bukit, Pekan Sayur, Jalan Tasik Meranti dan Kem Hujan-Hujan Gua Kelam." "Pengulas Sukan Meningkatkan Kecintaan terhadap Bahasa Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nOleh Nazri Hussein\n\u00a0\n\u201cJamal. Hantaran kurang baik. Kim Hyun Moo berhadapan dengan Kamaruddin. Terlepas Kamaruddin. Kyum Moo ditarik oleh Kamaruddin dan Kamaruddin menerima kad kuning. Kad kuning yang pertama dalam pertandingan akhir ini. Pemain Malaysia, iaitu bek kiri Malaysia, Kamaruddin Abdullah diberi kad kuning oleh pengadil, Abdul Wahab al-Bani dari Kuwait, yang mengadili pertandingan ini kerana menarik baju Kim Hyun Moo. Jong Duk akan menendang bola. Empat minit setengah berbaki. Bola dapat pula kepada Hassan. Masih lagi Hassan. Jung Jung mengejar bola dan memberikannya kepada James. Peluang untuk James dan gol!\u201d\n\u00a0\nUlasan sukan oleh pengulas sukan terkenal, Allahyarham Zulkarnain Hassan ketika siaran langsung dalam perlawanan bola sepak akhir kelayakan Olimpik antara pasukan negara dengan Korea Selatan empat dekad silam akan terus dikenang dalam lipatan sejarah sukan tanah air. Bukan sahaja kerana perlawanan itu mencipta sejarah tersendiri apabila Malaysia layak ke sukan Olimpik Munich buat kali pertama tetapi cara dan gaya ulasan pengulas sukan itu dianggap kemas, tersusun, beretika serta menggunakan laras bahasa Melayu yang baik.\nPenggunaan bahasa oleh pengulas sukan tanah air pada setiap kali berlangsungnya siaran sukan sama ada secara langsung atau siaran tertunda sering menjadi isu dalam kalangan peminat sukan tempatan mahupun rakyat secara keseluruhannya sejak akhir-akhir ini. Antara perkara yang sering dibangkitkan ialah penggunaan bahasa rojak, kesalahan tatabahasa yang jelas ketara, pemilihan frasa kata yang salah serta sebutan yang tidak betul sehingga sukar difahami.\nSelain itu, antara kesilapan lain yang sering dilakukan oleh pengulas sukan termasuklah kelemahan membina ayat yang baik dan berstruktur dalam ulasan, nada suara yang kurang meyakinkan serta sebutan yang mengelirukan. Senario ini jika dibiarkan sudah tentu akan memberikan impak negatif yang bukan sahaja kepada pengulas sukan, bahkan yang turut menerima tempiasnya ialah rangkaian siaran televisyen yang mengendalikannya.\nKemunculan para pengulas sukan baharu dan masih mentah dalam dunia pengacaraan di rangkaian televisyen memberikan senario yang baik dan amat dialu-alukan bagi kerjaya yang mencabar ini. Akan tetapi, persoalan yang sering bermain di bibir peminat sukan tanah air mutakhir ini, bagaimanakah bentuk dan gaya ulasan itu mampu memberikan kefahaman dan kepuasan kepada penonton? Kepuasan itu bukan kerana pasukan yang disokong berjaya mencipta kemenangan tetapi yang paling penting mendapat kepuasan daripada gaya ulasan sukan yang santai dan bersahaja. Sudah tentu, aspek pertuturan dan penggunaan bahasa menjadi fokus utama kerana kedua-dua perkara inilah yang sering menerima teguran dan kritikan daripada masyarakat.\nConnor McNamara, pengulas sukan bola sepak di rangkaian televisyen BBC ketika ditemu ramah oleh pemberita NME, Nick Levine, pernah menyebut bahawa aspek yang paling sukar ketika membuat ulasan sukan ialah tumpuan terhadap acara sukan yang sedang berlangsung serta bagaimana situasi itu digambarkan melalui bahasa dan penggunaan kata-kata yang sesuai, tepat dan betul. Inilah cabaran yang paling besar bagi pengulas sukan sewaktu penonton pula bertindak sebagai hakim yang pada bila-bila masa sahaja menanti setiap kesilapan daripada ulasan pengulas sukan khususnya dalam aspek laras bahasa yang digunakan.\nSudah tentulah sebagai pengulas sukan, sama ada yang masih baharu atau sudah berpengalaman tetap tidak dapat lari daripada kesalahan dan kekhilafan penggunaan struktur ayat dan tutur kata yang mengganggu tumpuan penonton ketika sedang berada di hadapan skrin televisyen mahupun di corong radio. Hal ini sudah tentu memerlukan ketelitian dan kecaknaan yang lebih terutama dalam soal laras bahasa yang digunakan oleh para pengulas sukan sewaktu membuat ulasan sesuatu pertandingan sukan baik pada peringkat tempatan mahupun yang bertaraf antarabangsa.\nKita sedia maklum bahawa dalam ulasan secara lisan, pengulas sukan sewajarnya perlu bijak menggunakan frasa kata yang merujuk dunia kesukanan itu sendiri seperti penggunaan kata tendangan, balingan, sepakan, hantaran, tandukan dan banyak lagi untuk sukan seperti bola sepak. Bagi acara hoki pula sudah tentulah perkataan yang biasa digunakan pula termasuklah seperti kata pukulan, menghayun, memukul, menghalang, menyangkut dan sebagainya. Seorang pengulas sukan yang berwibawa sudah tentu dapat membezakan kata kerja dalam setiap ulasan sehingga memberikan impak positif kepada penonton atau pendengar.\nBegitu juga dengan istilah lain seperti atlet, pemain, pengadil, penalti, dan jaringan gol perlu dipastikan menepati ciri dalam setiap struktur ayat yang meniti di lidah para pengulas sukan. Dalam hal ini, istilah yang digunakan pula perlu menepati daftar istilah yang dikeluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagaimana yang pernah diterbitkan dalam naskhah khas bersempena dengan berlangsungnya Sukan Komanwel Kuala Lumpur pada tahun 1998. Perbendaharaan kata inilah yang sepatutnya menjadi rujukan oleh setiap pengulas sukan ketika ingin membuat sebarang ulasan sebagai persediaan awal sebelum memulakan pengacaraan.\nKemahiran berbahasa merupakan aspek utama yang mampu menyerlahkan keabsahan seseorang pengulas sukan sama ada berpotensi atau sebaliknya. Dalam situasi kini, banyak pengulas sukan khususnya yang baru diketengahkan gagal mempamerkan ulasan yang menarik, kemas dan berwibawa kerana kelemahan dalam pertuturan. Dalam sejarah pengacaraan sukan negara, sudah pasti kita tidak akan lupa dengan nama-nama hebat pada suatu waktu dahulu seperti Allahyarham Datuk Haji Hasbullah Awang, Datuk Rahim Razali, Allahyarham Jamaluddin Alias, Allahyarham Mustadza, Abdullah Hasyim dan Sherkawi Jirim. Keupayaan mereka mengendalikan dunia pengacaraan sukan sama ada secara langsung ataupun lintas langsung dalam bahasa kebangsaan dianggap sebagai ikon yang mencetuskan fenomena yang akan sentiasa dikenang dalam sejarah sukan negara.\nContohnya, Allahyarham Datuk Haji Hasbullah Awang yang popular dengan gelaran \u201cThe Voice of Malaysian Sports\u201d merupakan pengacara sukan popular yang paling digemari oleh peminat sukan tanah air. Kepetahannya menitipkan frasa kata dalam struktur ayat yang lengkap, padu dan kemas menjadikan segmen sukan yang dikendalikannya sentiasa dinanti-nantikan. Apatah lagi dengan lenggok dan gaya sebutan yang lunak, indah serta pemilihan frasa yang kreatif membuatkan pendengar atau penonton terus terpaku di hadapan kaca televisyen atau corong radio.\nAntara ungkapan menarik yang pernah beliau ungkapkan semasa mengendalikan ulasan perlawanan akhir Piala Thomas antara Malaysia dengan Indonesia termasuklah frasa seperti \u201cPukulan Rashid Sidek memaku lantai gelanggang\u201d. Kata-kata spontan inilah yang memberikan aura dan daya tarikan di sebalik bahasa yang puitis dan indah dalam sesuatu pengacaraan sukan sehingga mampu memberikan impak besar kepada keutuhan dan keperkasaan bahasa kebangsaan yang sememangnya merupakan bahasa pengantar rasmi di negara ini. Sudah tentu kita akan terus merindui ulasan klasik daripada para pengulas sukan terdahulu yang sememangnya matang dan bijak serta fasih dalam menuturkan kata-kata serta mempunyai intonasi yang meruntun kalbu.\nAntara kata-kata indah yang terus dikenang oleh para peminat pengulas sukan bersuara emas itu termasuklah ungkapan, \u201cPasukan Pahang berjaya membelah Banjaran Titiwangsa\u201d semasa diberi tugasan mengulas perlawanan akhir Piala FA yang melibatkan pasukan Pahang pada tahun 2006. Begitu juga dengan sebabak ulasan yang begitu sinis kata-katanya dalam lafaz bahasa yang berbunyi, \u201cWalaupun stadium di Palestin sering dibom tetapi bola sepak mereka tidak pernah mati\u201d sewaktu mengendalikan siaran bola sepak yang melibatkan Malaysia dan Palestin.\nPada era baharu dengan kemunculan pelbagai saluran sukan daripada rangkaian televisyen swasta seperti Astro Arena sudah tentu nama pengulas sukan yang masih muda muncul dengan pelbagai cara dan gaya pengacaraan. Apatah lagi kaedah ulasan moden yang menggabungkan antara pengulas sukan sebenar dengan pengulas sukan jemputan (komentar) yang terdiri daripada mantan atlet atau pemain legenda yang telah bersara daripada lapangan sukan tertentu. Hal ini sudah tentu memberikan kesan negatif terhadap mutu pengacaraan itu sendiri memandangkan pengacara tangkap muat yang dipilih itu pula tidak berbakat serta ulasan yang disampaikan pula lemah, tidak menarik selain frasa ungkapan lisan yang digunakan pula cacamarba hingga mengelirukan penonton yang mendengar.\nDalam dunia pengacaraan sukan era terkini, Haji Zainal Abidin Rawop dianggap antara pengulas sukan yang paling menonjol kerana mempunyai kemahiran berbahasa yang baik serta kebijaksanaannya mengulas menggunakan frasa ayat yang sederhana, betul dan tepat selain mengekalkan ragam intonasi yang berbeza-beza mengikut situasi bagi menyeimbangkan emosi dan perasaan penonton yang sedang memberikan tumpuan terhadap aksi sukan yang sedang berlangsung.\nSebagai sebuah negara berbilang kaum dan keturunan, sudah tentulah pengulas sukan yang terdiri daripada pelbagai bangsa berperanan besar dalam memartabatkan bahasa kebangsaan melalui ulasan sukan yang menarik dan berwibawa. Pengacaraan sukan secara lisan sudah tentu mempunyai cabaran dan halangan yang besar memandangkan waktu siaran yang terhad selain menjadi fokus perhatian jutaan penonton yang menanti-nantikan \u201cbilah\u201d bahasa yang diungkapkan oleh pengacara sukan.\nSewajarnya tugasan pengulas sukan perlu dipertanggungjawabkan kepada mereka yang benar-benar mempunyai bakat berbicara, berkemahiran dalam berbahasa serta bijak mengawal senario dengan kepelbagaian kaedah ulasan yang tidak menjemukan para penonton. Elakkan sama sekali penggunaan kosa kata yang kasar dan biadab, berbahasa secara panjang lebar, mengungkapkan istilah yang sensitif serta berbahasa rojak hingga menghilangkan kefahaman sebenar dalam bahasa ibunda.\nAlangkah tenangnya hati dan perasaan tatkala berada di hadapan skrin televisyen sambil menonton siaran sukan kegemaran kita dengan ulasan menarik dan bahasa yang indah dari lidah para pengulas yang bijak menyampaikan ulasan yang mesra, santai dan menyegarkan halwa telinga. Inilah peranan besar yang perlu dimainkan oleh para pengulas sukan demi memartabatkan bahasa kebangsaan agar dipandang tinggi oleh segenap lapisan masyarakat di tanah air kita." "Muzium Permainan Tradisional Kuala Selangor Memelihara Legasi Permainan Tradisi Rakyat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Selangor \u2013 Muzium Permainan Tradisional Kuala Selangor kembali dibuka secara rasmi kepada para pengunjung bermula semalam, 14 Februari 2023 setelah majlis perasmiannya yang disempurnakan oleh Exco Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan Selangor, Yang Berhormat (YB) Tuan Borhan Aman Shah pada hari yang sama.\nMenurut YB Tuan Borhan, Muzium Permainan Tradisional Kuala Selangor ini mempunyai bahan-bahan pameran yang berharga dengan tahap nilai sejarah yang signifikan kerana bukan sahaja tidak diperoleh di muzium yang lain, bahkan merupakan koleksi khusus yang berkaitan dengan sejarah permainan tradisional yang pernah dimainkan di negeri ini.\n\u201cKoleksi-koleksi ini sewajarnya dipelihara dengan baik dan perlu dipamerkan kepada orang awam supaya mereka dapat mengetahui, menghayati dan seterusnya menghargai tinggalan khazanah yang ada di negeri ini. Syabas dan tahniah diucapkan kepada Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) atas segala usaha dalam merealisasikan Muzium Permainan Tradisional Kuala Selangor dengan kerjasama semua pihak,\u201d ujar YB Tuan Borhan.\nYB Tuan Borhan turut memanjatkan kesyukuran kerana perasmian Muzium Permainan Tradisional Kuala Selangor merupakan satu peristiwa yang amat signifikan kepada masyarakat Kuala Selangor khasnya dan rakyat Selangor secara keseluruhan. Di samping itu, beliau juga menyatakan harapannya agar pembukaan semula muzium ini dapat meningkatkan lagi jumlah kehadiran pelancong ke negeri Selangor terutama di daerah Kuala Selangor selain terdapat pelbagai destinasi dan tarikan lain yang unik dan popular di daerah ini seperti gemerlapan kelip-kelip, Pantai Cermin, inap desa dan keindahan Pantai Remis.\nTurut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, YB Juwairiya Zulkifli dan Ketua Pegawai Eksekutif PADAT, Dr. Nadia Widyawati Madzhi.\nOrang ramai digalakkan membawa keluarga untuk berkunjung ke Muzium Permainan Tradisional Kuala Selangor pada musim cuti persekolahan ini yang dibuka pada setiap hari dari pukul 9.30 pagi hingga 5 petang. Selain melihat pameran, pengunjung yang hadir ke muzium ini juga boleh mencuba bermain permainan tradisional seperti yang dipaparkan dalam pameran dengan bantuan kakitangan yang bertugas.\nBayaran masuk ke muzium ini adalah percuma hingga bulan Jun 2023 dan bayaran tiket dengan pakej menaiki trem akan dikenakan kepada para pengunjung selepas itu. Walau bagaimanapun, kadar bayaran tiket masih belum ditetapkan.\nSebagai pemakluman, Muzium Permainan Tradisional Kuala Selangor telah dibuka pada tahun 2007 tetapi ditutup selepas terbabit dalam kebakaran pada tahun 2011. Proses membina semula muzium ini mengambil masa empat tahun untuk disiapkan dengan menelan kos perbelanjaan antara RM300 ribu sehingga RM500 ribu. Muzium ini yang diubah suai daripada kuarters lama Jabatan Kerja Raya (JKR) merupakan usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan permainan tradisi rakyat terus dijaga dan terpelihara." "Master Kobid: Konflik Manusia daripada Mata Virus\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bermula semalam 16 hingga 18 Februari 2023, Persatuan Badan Budaya DBP (Badan Budaya DBP) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan pementasan teater yang bertajuk Master Kobid hasil arahan Aris Othman dan skrip oleh Tan Sri Johan Jaaffar yang bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.\nSebagai pemakluman, Badan Budaya DBP dan perkembangan seni teater kebangsaan cukup sinonim dengan nama-nama besar pejuang bahasa dan seni persembahan ini. Badan Budaya DBP merupakan sebuah produksi teater yang diasaskan oleh Sasterawan Negara ke-3, iaitu Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang semasa beliau masih bertugas di DBP pada tahun 1967. Tamu di Bukit Kenny merupakan pementasan teater pertama oleh Badan Budaya DBP dengan arahan Usman Awang sendiri.\nPerkembangan pesat bidang teater menyuburkan kesedaran para karyawan DBP agar badan ini akan dapat terus dilestarikan dan Badan Budaya DBP telah didaftarkan dengan nama Persatuan Badan Budaya DBP. Kini badan seni ini merupakan pertubuhan yang dianggotai oleh para karyawan DBP yang masih berkhidmat dan mantan karyawan DBP serta karyawan luar. Badan Budaya DBP bergiat aktif menggerakkan usaha-usaha pengembangan bahasa dan sastera menerusi pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan termasuklah pementasan teater sejak tahun 1967.\nSejak ditubuhkan, Badan Budaya DBP terus aktif dengan pementasan-pementasan teater yang lebih matang dalam karya-karya realisme. Pementasan teater terakhir oleh Badan Budaya DBP ialah Sandera arahan A. Wahab Hamzah pada tahun 2014. Badan Budaya DBP telah berjaya melahirkan tokoh-tokoh besar khususnya dalam dunia teater tanah air seperti Tan Sri Johan Jaaffar, Dato\u2019 Dr. Mohd Anwar Ridhwan, Zakaria Ariffin, Sabri Yunus, Imuda, Abon, Bohari Ibrahim serta beberapa orang yang turut mewarnai dunia seni tanah air.\nBerdepan dengan konflik pandemik COVID-19 telah membuatkan seluruh rakyat Malaysia berdepan dengan pelbagai cabaran kritikal, bukan sahaja kehilangan nyawa orang tersayang kerana wabak ini, bahkan memberikan kesan kepada sektor-sektor lain khususnya ekonomi dan pendidikan. Oleh hal yang demikian, karyawan sentiasa melihat situasi yang berlaku adalah peluang untuk meraih idea dan gagasan dalam melahirkan sesebuah karya sastera khususnya bergenre skrip teater.\nMenyelami serta menghayati kehidupan rakyat Malaysia yang menempuh badai dan gelora pandemik COVID-19 telah menjadikan naskhah Master Kobid sebagai suatu bingkisan pemikiran penulis yang serba kompleks namun bersifat sejagat. Sehubungan dengan itu, orang ramai serta pencinta seni teater amatlah dialu-alukan untuk hadir memberikan sokongan kepada pementasan teater ini.\nSudah tentu masyarakat ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang siapakah gerangan Master Kobid dalam teater ini? Apakah yang dipolemikkan oleh lapan watak lain yang masing-masing membawa peranan yang cukup signifikan dengan masyarakat yang berjaya menempuh serta berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19 yang lalu. Justeru, bagaimanakah penelitian yang diterjemahkan oleh mata Master Kobid berkaitan manusia dan konflik-konflik yang dihadapinya?\nSembilan orang pelakon, iaitu terdiri daripada Dr. Rosdeen Suboh (Master Kobid), Taiyuddin Abu Bakar (Wakil Rakyat), Roydy Rokidy (Doktor), Eliza Mustafa (Peniaga Kecil), Mohamad Arif Taslim (Wak Sin), Rosli Abdul Rahman (Seniman), Amirul Hakim Lokman (Wartawan), Badrol Hisham (Sasterawan) dan Kyra Sabri (Gadis) masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri dalam mempersembahkan kreativiti mereka bereksperimen dengan dialog serta ekspresi dalam menjiwai watak-watak dalam teater ini.\nOrang ramai boleh membuat tempahan tempat duduk dengan mengimbas kod QR yang tertera pada poster teater. Sudah pasti para penonton yang bakal menyaksikan pementasan teater ini sentiasa diingatkan bahawa virus korona masih belum tewas dan pematuhan prosedur standard operasi (SOP) sentiasa menjadi keutamaan walaupun anda telah lengkap divaksinasi. Selamat menyaksikan teater Master Kobid." "Cuti-Cuti Malaysia Mempromosi Makanan Tradisional Masyarakat Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2013\u00a0Dalam usaha menyemarakkan lagi industri pelancongan negara yang terjejas kesan daripada pandemik COVID-19 yang melanda, pihak Tourism Malaysia secara aktif telah membantu mempromosikan kempen Cuti-Cuti Malaysia ke seluruh Malaysia. Baru-baru ini, Tourism Malaysia telah menganjurkan demonstrasi masakan tradisional menerusi penampilan istimewa Duta Pelancongan, Seni dan Budaya bagi segmen gastronomi, iaitu Dato\u2019 Chef Ismail Ahmad di Berjaya Langkawi Resort, Langkawi.\nMenurut Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia, Encik Zakaria Mohd Nani, antara menu istimewa yang ditampilkan oleh Dato\u2019 Chef Ismail dalam demonstrasi masakan tradisional pada kali ini ialah resepi tradisional merangkumi ayam kalio Negeri Sembilan dan cucur bawang.\n\u201cDemontrasi masakan yang diketengahkan ini bertujuan untuk menarik minat para pelancong serta memperkenalkan sajian istimewa ini khususnya kepada para pengunjung yang menginap di Berjaya Langkawi Resort,\u201d ujar Encik Zakaria dalam satu kenyataan yang diterbitkan oleh Tourism Malaysia.\nBudaya amat berkait rapat dengan sajian makanan dan usaha memperkenalkan pelbagai makanan tradisional Melayu melalui demosntrasi masakan dapat menggalakkan serta membantu para pelancong mengenali dengan lebih dekat dan terperinci tentang budaya dan adat Melayu terutamanya yang berkaitan dengan sajian makanan tradisional.\nBerjaya Langkawi Resort dipilih sebagai lokasi penganjuran demonstrasi masakan tersebut kerana pusat peranginan itu sering menjadi lokasi pilihan pelancongan antarabangsa yang berinspirasikan keunikan alam semula jadi serta telah berjaya merangkul beberapa anugerah bertaraf antarabangsa.\nDi samping itu, Tourism Malaysia dengan kerjasama Koperasi Komuniti Kepulauan Tuba dan Selat Berhad (KOPTUBAS) juga telah menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi aktiviti penanaman anak pokok bakau.\nAntara tujuan lain program yang turut mendapat sokongan dan dijayakan oleh penduduk tempatan itu ialah menyemarakkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan komuniti setempat sekali gus menyantuni pemain industri pelancongan di Langkawi sewaktu pascapandemik COVID-19 yang seterusnya secara tidak langsung membantu mempromosikan kempen Cuti-Cuti Malaysia di pulau tersebut.\nTourism Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pemandu Pelancong Langkawi juga turut menjayakan program seminar dan International Tourist Guide Day sewaktu kunjungan promosi kempen Cuti-Cuti Malaysia ke pulau tersebut." "Israk Mikraj dan Sejarah Perjuangan di Kota Mahsuri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2013 Pada tanggal 18 Februari yang lalu, satu majlis sambutan Israk dan Mikraj telah diadakan di Kota Mahsuri, Langkawi. Seramai hampir 50 orang penduduk yang berpakaian busana tradisional Melayu telah hadir meraikannya bersama-sama pengunjung dan pihak pengurusan Kota Mahsuri. Program tersebut merupakan anjuran bersama dengan kumpulan Busana Sejarah Warisan Langkawi (BSWL) dan Sri Kenayan Kota Mahsuri.\nMajlis dimulakan dengan sambutan secara tradisional, iaitu perarakan bunga manggar yang diiringi dengan muzik tiupan tetuang dan gendang silat, sesi lawatan di sekitar kompleks Kota Mahsuri serta sesi penerangan tentang perjuangan armada laut Langkawi semasa peperangan antara kerajaan Kedah dengan Siam yang lebih dikenali sebagai Perang Musuh Bisik pada sekitar tahun 1821 hingga tahun 1842.\nLangkawi turut terkesan dengan peristiwa yang berlaku pada abad ke-19 tersebut dengan kesan kemusnahan yang amat besar, malahan turut dikaitkan dengan kesan daripada sumpahan Mahsuri. Panji perang Panglima Ali menjadi bukti kerjasama erat antara pahlawan Melayu dan ulama agama.\nJurucakap Kota Mahsuri, Ku Aliff Qayyum Ku Izham dalam penerangannya menzahirkan harapan agar generasi Kedah dan Langkawi pada hari ini berterusan bersemangat untuk berjuang dalam usaha memelihara keamanan yang telah dicapai oleh generasi terdahulu. Seterusnya diadakan majlis bacaan tahlil untuk roh arwah-arwah yang telah meninggal dunia.\nPengisian majlis disambung dengan persembahan silat oleh para pesilat Kota Mahsuri dan ahli kumpulan BSWL. Di lokasi yang sama turut disajikan dengan pelbagai persembahan tradisional lain seperti gamelan, caklempong, muzik asli dan berendoi oleh kumpulan Keluarga Angkatan Budi Seni (KABUS). Waktu rehat pula diisi dengan aktiviti bebas dan makan tengah hari. Usai solat Zuhur secara berjemaah, tazkirah berkaitan peristiwa Israk dan Mikraj disampaikan oleh Ustaz Firdaus Al Radzi.\nUstaz Firdaus Al Radzi memulakan takzkirahnya dengan pengkisahan tentang tahun dukacita. Seterusnya, beliau memperingatkan para hadirin tentang perjalanan teragung Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjid Al-Aqsa, Baitulmuqaddis merupakan suatu kemuliaan kepada baginda, bukan sahaja menerima perintah tentang solat, sebaliknya turut dapat berkomunikasi dengan Allah SWT dan malaikat Jibril. Majlis diakhiri dengan menonton persembahan teater pantodra Mahsuri di Panggung Mek Mulung, Kota Mahsuri pada jam 3 hingga 4 petang.\nUstaz Firdaus Al Radzi sebagai jurucakap BSWL menyatakan bahawa BSWL telah menggerakkan beberapa langkah untuk mengimarahkan aktiviti berasaskan kebudayaan Melayu di Langkawi. Antaranya termasuklah beberapa kali menjadi penganjur bersama program berbusana beserta penerangan pemakaian keris sebagai identiti masyarakat dahulu, perkongsian sejarah Langkawi, pertunjukan silat Melayu, kursus-kursus kebudayaan seperti kursus mengarang tanjak, kursus ikatan samping dan lain-lain.\nSelain itu, BSWL juga giat menjalinkan hubungan baik dengan aliran-aliran persilatan yang bergiat aktif di Langkawi serta berperanan sebagai penyokong usaha mana-mana pihak yang menganjurkan aktiviti berasaskan kebudayaan dengan membantu promosi dan turun padang bagi memeriahkan penganjuran aktiviti supaya menjadi pencetus gelombang kepada masyarakat yang lain.\nBSWL juga aktif bertukar-tukar ilmu pengetahuan tentang adat, budaya dan sejarah silam Melayu secara meluas yang berkaitan dengan Langkawi. Justeru, masyarakat awam akan terdedah dengan tradisi dan warisan yang menjadi sebahagian daripada budaya sejak leluhur dahulukala." "Kelantan Art & Culture Festival Tour Menjulang Seni, Budaya dan Warisan Negeri Kelantan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pelbagai acara menarik akan diadakan bersempena Kelantan Art & Culture Festival Tour yang bakal berlangsung selama tiga hari, yakni bermula dari 24 hingga 26 Februari 2023 bertempat di Muzium Negara, Kuala Lumpur. Selain pameran, terdapat juga persembahan dan demonstrasi pembuatan seperti demonstrasi pembuatan kraf tangan dan makanan tradisional Kelantan.\nHal ini turut dijelaskan oleh Nik Ahmad Shazzwan Nek Muhammad yang merupakan Ketua Penolong Setiausaha (Pelancongan dan Kebudayaan) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Pejabat SUK Kelantan) dalam rancangan temu bual Selamat Pagi Malaysia baru-baru ini bagi membincangkan topik berkenaan Kelantan Art & Culture Festival Tour.\nNik Ahmad Shazzwan membuka bicaranya dengan menceritakan serba sedikit berkenaan latar belakang penganjuran festival tersebut. Menurut beliau, Kelantan Art & Culture Festival Tour merupakan anjuran Pejabat SUK Kelantan menerusi Bahagian Pelancongan dan Kebudayaan. Tambah beliau, festival tersebut yang berlangsung selama tiga hari akan mengadakan satu pameran, persembahan dan demonstrasi pembuatan merangkumi kraf tangan dan makanan tradisional Kelantan.\n\u201cDi samping itu, kami juga akan menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan negeri Kelantan seperti persembahan gasing terbang, rebana ketuk, rebana ubi, dan seni silat. Pada hari kedua pula, satu majlis yang dinamakan Bekwoh Kelantan (Kenduri Kelantan) akan diadakan untuk menunjukkan demonstrasi suasana kenduri di Kelantan. Para pengunjung boleh merasai atau menghayati pengalaman kenduri berdasarkan budaya Kelantan Bekwoh,\u201d ujar Nik Ahmad Shazzwan.\nAntara objektif yang ingin dicapai menerusi penganjuran Kelantan Art & Culture Festival Tour adalah untuk memperkenalkan kepelbagaian budaya yang terdapat di Malaysia khususnya di negeri Kelantan kepada para pengunjung yang masih belum pernah melawat ke negeri Kelantan.\n\u201cNegeri Kelantan turut dinamakan sebagai gedung budaya. Selain itu, terdapat banyak jenis permainan di Kelantan yang tidak pernah dilihat oleh masyarakat luar. Justeru, pada kesempatan ini, kami cuba menampilkan dan menonjolkan pelbagai persembahan tradisional negeri Kelantan kepada masyarakat luar,\u201d kata Nik Ahmad Shazzwan.\nMenurut Nik Ahmad Shazzwan, Pejabat SUK Kelantan turut menjemput para pemain Industri Kecil Sederhana (IKS) dari negeri Kelantan serta bekerjasama dengan pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk penjualan dan pameran produk-produk keluaran negeri Kelantan seperti serunding, kerepek pisang dan teh tarik madu.\nPada akhir bicara, Nik Ahmad Shazzwan berkongsi secara ringkas berkenaan tentatif festival tersebut yang bakal bermula pada 24 Februari 2023 (Jumaat) pukul 2.30 petang dengan pelbagai pameran dan jualan oleh pihak FAMA. Bersempena festival tersebut turut terdapat pameran dan demonstrasi pembuatan seni kreatif seperti batik, keris, wau dan wayang kulit.\nFestival yang berlangsung selama tiga hari ini bermula pada pukul 10 pagi hingga 11 malam kecuali hari Jumaat yang bermula pada pukul 2.30 petang. Pada sebelah malam hari Sabtu dan Ahad pula akan diadakan acara persembahan dikir barat dan wayang kulit negeri Kelantan." "Wings Menyemarakkan Ramadan 1444 Hijrah Sempena Hari Nuzul al-Quran\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kumpulan rock legenda tanah air, Wings sememangnya mempunyai banyak lagu yang diminati ramai dan malar segar. Lagu-lagunya yang berunsur Islam turut menjadi sebutan para peminat.\nWalau bagaimanapun, konsert \u201cShowcase Semarakkan Cinta Ramadan 2023\u201d yang dijangka berlangsung pada 8 April depan, Wings akan hanya mendendangkan beberapa buah lagu mereka sahaja dan memilih lebih banyak lagu popular nyanyian Al-Jawaher dan Sanisah Huri untuk dipersembahkan.\nSewaktu sidang media \u201cShowcase Semarakkan Cinta Ramadan 2023\u201d di sebuah hotel terkemuka di sini semalam, vokalis utama Wings, Dato\u2019 Awie memberitahu bahawa beliau sangat teruja untuk menyanyikan lagu-lagu daripada kumpulan nasyid dan penyanyi solo \u201clegenda hidup\u201d itu.\n\u201cLagu-lagu mereka menjadi sebutan kami sewaktu zaman kanak-kanak serta sangat merdu dan indah. Justeru, saya fikir tidak wajar jika lagu-lagu tersebut dipendam dan disisihkan,\u201d kata Dato\u2019 Awie yang turut ditemani anggota-anggota Wings lain, iaitu Syam (gitaris), Edrie (gitaris), Eddie (gitaris bass) dan Black (dram) semasa sidang media tersebut.\nDato\u2019 Awie turut menyatakan bahawa lagu-lagu tersebut akan didendangkan secara rock atau tidak bergantung kepada kesesuaian. Yang paling utama, irama merdu lagu-lagu berkenaan tidak akan diubah suai.\nPersembahan konsert \u201cShowcase Semarakkan Cinta Ramadan 2023\u201d anjuran HS Event & Ent. Sdn. Bhd. untuk tahun 1444 Hijrah/2023 Masihi di dewan tari-menari sebuah hotel terkemuka di ibu kota ini juga demi memenuhi janji Wings untuk kembali mengembangkan sayap dalam dunia hiburan tempatan setelah lama berehat selepas menunaikan umrah di Mekah pada November 2022.\nSelain Awie dan rakan-rakan kumpulannya, turut menghadiri sidang media \u201cShowcase Semarakkan Cinta Ramadan 2023\u201d tersebut ialah Pengarah Urusan HS Event & Ent. Sdn. Bhd., Mubarak Akhtar dan pengarah projek, Datin Norizan Idris. Beberapa orang ahli kelab peminat Wings, iaitu Sayap-Sayap Wings juga hadir.\n\u201cSaya sangat gembira apabila program berbentuk positif yang dianjurkan saban tahun ini mendapat sambutan hangat para peminat setia kami. Mereka nampak tertarik dan menyukai konsep yang kami tampilkan menerusi persembahan ini kerana ada pengisian yang tersendiri. Bahkan ada yang pernah menyaksikan persembahan tahun-tahun sebelumnya dan setia menanti persembahan untuk tahun ini pula,\u201d jelas Dato\u2019 Awie.\nSokongan padu itu terbukti dengan 50 peratus daripada jumlah meja telah ditempah sebelum sidang media berlangsung. Ternyata kewibawaan Wings tidak tergugat biarpun setelah 38 tahun berada dalam belantika muzik negara.\nYang menariknya, walaupun tidak pasti sama ada sememangnya dirancang atau takdir dan kebetulan, penganjuran \u201cShowcase Semarakkan Cinta Ramadan 2023\u201d tersebut juga berlangsung pada 17 Ramadan yang merupakan Hari Nuzul al-Quran.\nHal tersebut boleh membawa kesan psikologi dan signifikan yang tersendiri. Hasilnya, seperti yang disebutkan oleh Wings, dalam menyampaikan lagu-lagu berkonsep dakwah, berjanji akan tetap mempamerkan persembahan mantap dan menghiburkan untuk para hadirin.\n\u201cLagu-lagu yang bakal didendangkan adalah bersempena dengan bulan Ramadan, tetapi kami tetap akan menjaga kualiti persembahan agar berbaloi dengan harga wang ringgit yang telah dilaburkan oleh para peminat. Mereka dapat berbuka puasa, solat berjemaah dan seterusnya bersantai-santai sambil menikmati persembahan kami,\u201d tambah Dato\u2019 Awie.\nTiket untuk menyaksikan \u201cShowcase Semarakkan Malam Cinta Ramadan 2023\u201d dibahagikan mengikut kategori tertentu, iaitu Meja VVIP berharga RM15 000 untuk sebuah meja yang mampu memuatkan 10 orang, Meja VIP berharga RM12 000, Meja Platinum berharga RM8000, Meja Emas berharga RM6000 dan Meja Perak pula berharga RM4000." "Telegraf: Revolusi Budaya dan Industri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLedakan Revolusi Perindustrian bermula di Eropah setelah beberapa penemuan teknologi terhasil. Antara teknologi terpenting yang terhasil ialah penciptaan sel volta pada era tahun 1800 oleh Alessandro Volta yang berasal dari Itali. Penciptaan ini bermula setelah pelbagai uji kaji yang berkaitan dengan elektrik statik dijalankan. Beberapa siri uji kaji berikutnya dijalankan dengan tujuan untuk memperbaiki pengaliran arus dan voltan sehinggalah Alessandro Volta berjaya menghasilkan peranti elektrik yang mampu menjana arus elektrik yang tinggi tetapi mempunyai voltan yang rendah.\nBermula daripada penemuan teknologi tersebut, pelbagai teknologi lain mula dibangunkan. Antara yang paling signifikan ialah telegraf yang digunakan untuk berkomunikasi. Pembangunan sistem ini telah memanfaatkan kajian elektromagnetisme yang telah dijalankan oleh beberapa orang saintis, misalnya Hans Christian \u00d8rsted dari Denmark telah menemui kaedah mengalirkan arus elektrik yang berupaya memesongkan jarum magnet pada tahun 1820, William Sturgeon dari Britain telah menemui kaedah menghasilkan elektromagnet berbilang pusingan serta Michael Faraday dari Britain dan Joseph Henry dari Amerika Syarikat telah memperhalusi sains elektromagnetisme dengan secukupnya untuk membolehkan mereka membangunkan peranti elektromagnet yang praktikal pada tahun 1831.\nKesan daripada penemuan itu, Samuel F. B. Morse dari Amerika Syarikat mula membayangkan kewujudan peranti yang boleh menghubungkan dua pihak untuk berkomunikasi dengan menggunakan kuasa elektrik. Pada tahun 1832, beliau memulakan kerja-kerja pembangunan peranti tersebut dan pada tahun 1837, beliau telah berjaya mendapatkan paten bagi pembangunanan telegraf elektromagnet.\nPada masa yang sama, dua orang saintis British, iaitu Sir William Fothergill Cooke dan Sir Charles Wheatstone juga telah memperoleh paten berasaskan kepada ciptaan sistem telegraf yang menggunakan enam wayar untuk menggerakkan lima penuding jarum yang dipasang pada lima galvanoskop kepada penerima. Kelebihan menggunakan teknologi tersebut ialah jika arus dihantar melalui wayar yang betul, jarum boleh dibuat untuk menunjuk kepada huruf dan nombor tertentu pada plat pelekapnya.\nTeknologi ini berkembang menjadi popular di Eropah dengan cepat khususnya dalam kalangan negara-negara penjajah. Hal ini kerana dengan menggunakan teknologi tersebut, urusan komunikasi menjadi singkat dan sangat membantu melicinkan urusan pentadbiran. British sebagai salah sebuah negara yang aktif dalam pembangunan telegraf mula memasang teknologi tersebut di negara-negara yang dijajahnya termasuklah Malaysia.\nDi Malaysia, telegraf mula dipasang di Taiping. Pada 16 April 1876, sistem telegraf telah diperkenalkan oleh British bagi menghubungkan pejabat Residen Perak di Kuala Kangsar kepada pejabat Penolong Residen di Taiping pada 16 April 1876. Talian perhubungan telegraf ini turut melibatkan sambungan ke Pejabat Majistret yang terletak di Matang dengan jarak keseluruhan mencecah 27 batu (sekitar 43.5 km). Cara menghubungkan pejabat-pejabat ini ialah dengan memasang kabel merentasi hutan belantara dan paya bakau. Pokok dijadikan medium untuk menyangkut dan menyokong talian kabel.\nBerdasarkan tulisan Muhammad Hafiz Isa dan Mohd Samsudin yang bertajuk Perkembangan Sistem Telegraf di Perak, 1876-1900 yang disiarkan dalam Malaysia and International History Vol. 2, No. 2 (2020) halaman 15-34, pemasangan rangkaian perhubungan sistem telegraf telah menelan belanja sebanyak USD11 712.63, jauh lebih besar daripada jangkaan awal, iaitu sebanyak USD4900 sahaja. Namun pihak British yakin bahawa pemasangan talian perhubungan rangkaian tersebut akan memberi manfaat yang besar kepada sistem pentadbiran mereka.\nObjektif utama British melaksanakan pembinaan sistem telegraf di negeri Perak adalah sebagai langkah untuk mengatasi keterbatasan jaringan perhubungan di negeri itu yang belum mempunyai akses jalan raya yang banyak di samping bentuk muka buminya yang berhutan tebal dan bergunung-ganang. Menerusi pembinaan rangkaian tersebut, British tidak perlu lagi bergantung kepada perkhidmatan pengutus surat yang memakan masa yang agak lama. Sistem telegraf yang mampu menghantar mesej dengan pantas memberi kelebihan kepada urusan pentadbiran Residen British.\nPerhubungan telegraf antara bandar Taiping dan Kuala Kangsar tidak hanya melibatkan kegunaan bagi urusan pentadbiran, sebaliknya turut digunakan oleh pasukan polis dan tentera British di Perak bagi mengetahui perkembangan terkini tentang keadaan yang berlaku di kedua-dua bandar tersebut khususnya yang berkaitan dengan aspek keselamatan dan jenayah. Taiping misalnya tidak pernah sunyi daripada suasana pergaduhan yang tercetus di kawasan lombong. Sejak dari tahun 1861 hingga tahun 1874, bandar tersebut sering menjadi medan pertempuran antara dua kumpulan pelombong, iaitu Ghee Hin dan Hai San.\nAntara tahun 1876 hingga tahun 1884, tiada penambahan rangkaian yang dilakukan oleh British kerana tujuan pemasangan telegraf pada tahun 1876 adalah untuk memenuhi keperluan pentadbiran pejabat Residen British. Pada tahun 1884, British mula meluaskan dasar pembangunan rangkaian telegraf apabila kepentingan mereka terhadap ekonomi semakin bertambah. Dalam bulan Ogos 1884, pemasangan kabel dilakukan bagi menghubungkan Taiping dengan Kerian. Setelah pemasangan di Kerian selesai, sambungan talian dilakukan bagi menghubungkan Kerian dengan Kuala Perai dan Pulau Pinang. Pemasangan kabel sepanjang 26 batu itu akhirnya siap pada tahun 1889.\nMenurut rekod, kabel turut dipasang hingga ke Bukit Bendera memandangkan terdapat pejabat kolonial di kawasan tanah tinggi itu. Kesannya, hubungan komunikasi pejabat kolonial di Perak dapat dihubungkan ke pejabat kolonial di Pulau Pinang dalam tempoh yang singkat. Rentetan kewujudan sistem rangkaian tersebut, urusan ekonomi khususnya yang melibatkan pengeksportan dan pengangkutan bijih timah dapat dikendalikan dengan lebih cekap dan pantas. Port Weld (kini Kuala Sepetang) menjadi pelabuhan yang agak sibuk pada masa itu kerana bijih timah yang dilombong akan dihantar ke pelabuhan itu dengan menggunakan perkhidmatan kereta api.\nSeiring dengan penyambungan kabel ke Kerian, pemasangan kabel turut dilakukan dari Kuala Kangsar ke Batu Gajah dan hingga ke Teluk Intan. Pemasangan kabel ke Batu Gajah dan Teluk Intan amat penting kerana beberapa kawasan lombong bijih timah yang besar telah beroperasi di kawasan tersebut. Selain itu, pemasangan kabel ke Batu Gajah akan menghubungkan pejabat residen dengan daerah Kinta yang telah dikenal pasti akan dijadikan sebagai pusat pentadbiran yang baharu di negeri Perak.\nPemasangan kabel dari Kuala Kangsar ke Batu Gajah gagal mencapai kualiti komunikasi yang memuaskan mengakibatkan pihak British memutuskan untuk memasang kabel yang menghubungkan Taiping secara terus ke Batu Gajah. Pemasangan kabel tersebut dijalankan setelah kerja-kerja pemasangan kabel ke Pulau Pinang selesai. Pemasangan kabel ke Batu Gajah dianggap sangat penting kerana Batu Gajah pada masa itu dihuni oleh ramai pelombong Cina. Bagi mengelakkan kekacauan meletus seperti yang berlaku di Taiping, maka hubungan komunikasi yang cekap dan pantas diperlukan.\nPengendalian perkhidmatan telegraf telah mencatatkan jumlah permintaan sebanyak 78 269 hingga tahun 1889. Bandar Taiping mencatatkan jumlah permintaan yang tertinggi diikuti Kuala Kangsar dan Batu Gajah. Keseluruhan jarak sambungan kabel di seluruh negeri Perak mencecah sejauh 224 batu dengan Taiping menjadi pusat utama yang menghubungkan rangkaian ke bandar-bandar utama yang lain dalam negeri tersebut serta pusat telegraf yang pertama di Tanah Melayu. Kemajuan pembinaan rangkaian telegraf yang menghubungkan Taiping dengan bandar-bandar lain mempunyai kaitan dengan hasil pengeluaran bijih timah dan kedudukan bandar itu sebagai pusat pentadbiran negeri Perak.\nBagi memudahkan pengendalian perkhidmatan, jabatan telegraf ditubuhkan pada tahun 1884 dengan sebuah bangunan dibina untuk dijadikan sebagai pusat pentadbiran yang terletak di Jalan Stesen dan siap dibina setahun kemudian. Namun begitu, pejabat pertama telegraf dibina di Matang oleh Residen British yang bernama Hugh Low. Beliau menjadi residen di negeri Perak dari tahun 1877 hingga tahun 1889.\nPada tahun 1890, British telah melaksanakan sambungan kabel dari Tapah ke Tanjung Malim setelah sambungan ke beberapa bahagian dalam daerah Kinta berjaya disiapkan. Sambungan kabel dari Tapah ke Tanjung Malim siap sepenuhnya pada suku pertama tahun 1891. Sambungan kabel ke Tanjung Malim membuka potensi sambungan kabel ke negeri Selangor dengan pemasangan kabel mencapai jarak sepanjang 394 batu. Sambungan kabel ke beberapa bahagian lain dalam daerah Kinta terutamanya di kawasan Ipoh dimulakan semula pada tahun 1894 sewaktu Frank Athelstane Swettenham menjadi residen.\nSeterusnya, British telah menjadikan jalan kereta lembu sebagai panduan kedudukan pemasangan kabel yang menghubungkan Ipoh ke Gopeng. Berbanding dengan kedudukan pemasangan kabel sebelum ini yang agak bahaya kerana merentasi hutan tebal dan gunung-ganang, kedudukan berdasarkan jalan kereta lembu dikatakan lebih selamat dan mudah.\nT. F. Toft dilantik menjadi superintenden jabatan telegraf yang pertama di negeri Perak pada 1 Oktober 1884. Tugas beliau sebagai penyelia yang mengawasi kerja-kerja pengendalian perkhidmatan. Pada tahun 1902, Jabatan Pos dan Jabatan Telegraf telah digabungkan menjadi Jabatan Pos dan Telegraf Negeri-Negeri Selat bagi menyediakan perkhidmatan perhubungan yang lebih efektif sebagaimana yang dilaporkan dalam tulisan Koh Kuan Wei dan rakan-rakan dalam makalah yang bertajuk Pembangunan Perkhidmatan Pos dan Sumbangannya kepada Pentadbiran British dan Masyarakat di Negeri-Negeri Selat 1902-1938 yang tersiar dalam Jurnal Dunia Pengurusan Vol. 2, No. 2 tahun 2020 halaman 12-24.\nPenggabungan jabatan ini memudahkan usaha-usaha pembasmian isu penyeludupan surat-surat buruh Cina yang dilakukan oleh ejen-ejen tidak berdaftar yang ingin mengaut keuntungan daripada buruh-buruh tersebut. Pada tahun 1904, seramai 28 orang ejen tidak berdaftar yang melakukan penyeludupan surat buruh Cina ditangkap dan dikenakan denda sebanyak AS$2,226.00. Hal ini berikutan dengan banyak laporan kes yang melibatkan kehilangan surat dan wang yang dikirim kerana tidak menerusi pejabat pos yang ditadbir oleh pentadbiran kolonial.\nTokoh yang banyak memberi sumbangan kepada kemajuan jabatan pos dan telegraf ialah C. H. Allin yang dilantik menjadi pengarah jabatan tersebut bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dari tahun 1904 hingga tahun 1923. Beliau pada asalnya berkhidmat dalam Jabatan Perkhidmatan Pos British dan diarahkan untuk datang ke Tanah Melayu untuk menyeragamkan perkhidmatan pos, telegram dan telefon di negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Pada tahun 1905, beliau mengeluarkan enakmen pejabat pos dan telegraf secara berasingan.\nMenuju tahun 1923, pemasangan kabel telegraf di keempat-empat buah negeri itu dilakukan sejauh 3399 batu. Sebanyak 99 buah pejabat telah dibuka dengan pengendalian perkhidmatan setiap tahun melibatkan setengah juta permintaan secara purata. Berdasarkan kepada purata tahunan, British memperolehi pendapatan sekitar AS$200 000 menerusi perkhidmatan telegraf.\nPerkembangan telegraf memberi kesan yang sangat besar kepada kemajuan teknologi, cara berfikir dan budaya bekerja. Dari sudut kemajuan teknologi, telegraf mendorong saintis memajukan bidang komunikasi sebagaimana yang telah dicapai pada hari ini. Dari aspek teknologi telegraf, saintis mendapat ilham membangunkan teknologi komunikasi yang lain seperti telefon, faksimili, komputer dan rangkaian Internet. Dari segi cara berfikir dan budaya bekerja, teknologi telegraf menjadi medium yang sangat penting kepada aktiviti penyebaran maklumat dalam skala yang lebih luas dan kesannya, pengetahuan terhadap sesuatu isu atau tempat akan bertambah.\nDari sisi lain, perkembangan ini memberi impak yang ketara kepada pemerintah dalam menangani sesuatu isu yang berlaku dengan segera. Kelajuan penyampaian maklumat turut mendorong organisasi-organisasi yang terlibat dalam bidang penyiaran dan kewartawanan untuk mengemaskini setiap laporan dan berita yang diterima dengan pantas agar sentiasa berada pada kedudukan yang mutakhir.\nKini bangunan pentadbiran Jabatan Pos dan Telegraf yang terletak di Jalan Stesen Taiping telah dijadikan sebagai Muzium Telegraf Taiping yang diletakkan di bawah seliaan Telekom Malaysia. Muzium ini dianggap unik kerana merupakan satu-satunya muzium yang menempatkan pelbagai artifak telegraf di Malaysia dan Asia Tenggara." "YAE! Melengkapkan Pengetahuan dan Kemahiran Pelukis Muda Menjadi Usahawan Seni yang Berdaya Saing\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Program Young Art Entrepreneurs (YAE!) sekali lagi diteruskan pada tahun ini anjuran Balai Seni Negara dalam usaha untuk melengkapkan pengetahuan dan kemahiran pelukis muda menjadi usahawan seni yang berdaya saing. Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, kemuncak kepada program ini adalah sebuah pameran produk seni yang memaparkan hasil usaha 16 peserta program YAE! Showcase 2023 Kohort ke-7.\nTimbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Mohd Yusri Mohd Yusoff berkata, seramai 130 orang graduan telah berjaya dilahirkan daripada program YAE! hingga kini dengan pendapatan keseluruhan mencecah sebanyak RM1.5 juta dari tahun 2017 hingga tahun 2022.\n\u201cProgram ini diwujudkan menerusi inisiatif Balai Seni Negara untuk membantu golongan muda berkreatif dalam mengembangkan dan menghasilkan hasil seni kreatif dengan lebih mantap dan berkesan,\u201d ujar Mohd Yusri sewaktu berucap dalam Majlis Perasmian YAE! Showcase 2023 Kohort ke-7 baru-baru ini.\nMenurut Mohd Yusri, sebanyak tujuh kohort telah dilaksanakan oleh program ini hingga tahun 2022 dan para graduan dilihat mampu berdaya saing dalam dunia keusahawanan. Selain itu, jumlah pendapatan keseluruhan program YAE! Showcase 2023 Kohort ke-7 ialah sebanyak RM151 853 menerusi penglibatan dalam pelbagai acara kesenian seperti The Godown Arts Market, Festival Permainan Malaysia, Program Boot Camp YAE! Tasik Kenyir, Program Komuniti Simunjan dan lain-lain lagi.\n\u201cInisiatif YAE! memberi galakan kepada para peserta untuk mempraktikkan segala ilmu yang diperoleh, membuat jaringan profesional, membentuk persekitaran dinamik dalam perniagaan dan menitikberatkan unsur bantu-membantu dalam memajukan prospek keusahawanan,\u201d kata Mohd Yusri.\nMohd Yusri turut menyatakan bahawa menerusi latihan intensif selama empat bulan, para peserta dapat meneroka peluang dalam pasaran domestik sehingga ke peringkat antarabangsa. Selain itu, pendekatan YAE! pada tahun 2023 juga akan menumpukan kepada tiga elemen penting, iaitu peluang pekerjaan, jaringan kerjasama dan generasi berpendapatan.\n\u201cCetusan usaha ini juga dapat memacu kepada pembangunan Malaysia Madani menerusi salah satu tonggaknya, iaitu kemampanan terutamanya dalam aspek mengukuhkan kreativiti dan ekonomi serta menyerlahkan kepelbagaian daya cipta dengan lebih yakin dan berinovasi,\u201d jelas Mohd Yusri.\nMohd Yusri turut berkata bahawa segala tindakan dalam mencapai kejayaan dan bergelar usahawan seni tidak hanya terhad kepada kaedah konvensional, bahkan dapat dicapai menerusi pendekatan transformasi digital data raya agar lebih ke hadapan dan berdaya saing dengan negara luar.\nMajlis Perasmian YAE! Showcase 2023 Kohort ke-7 ini juga disiarkan secara dalam talian menerusi laman Facebook Balai Seni Negara, https://www.facebook.com/nationalartgallerymalaysia/videos/732677145106791.\nYAE! Showcase 2023 yang bertemakan \u201cEngage, Enlighten and Connect\u201d boleh dikunjungi bermula 17 Februari hingga 26 Februari 2023 dari jam 11.00 pagi hingga 8.00 malam bertempat di Tingkat 2, GMBB, Kuala Lumpur." "Roslan Mendidik Masyarakat Menghargai Karya Lukisan Abstrak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bermula dengan minat dan bergabung dengan bakat semula jadi, Roslan Razali yang merupakan anak kelahiran Kelantan tidak menoleh ke belakang lagi untuk merealisasikan cita-cita beliau dalam menghasilkan lukisan abstrak. Perkara ini menjadi realiti dan memberi semangat kepada beliau apabila semakin banyak mendapat pendedahan dalam bidang tersebut sama ada di dalam negara mahu pun di luar negara.\n\u201cKetika di sekolah rendah, saya didedahkan dengan teknik asas melukis, iaitu mewarna dan melukis pelbagai flora dan fauna. Minat saya semakin meningkat setiap tahun sejak sekolah rendah sehingga bersekolah menengah. Pada tahun 1992, saya mewakili Sekolah Menengah Ciku 3 menyertai satu pertandingan melukis antara sekolah-sekolah dalam daerah Gua Musang.\nWalaupun hanya berjaya mendapat tempat ketiga, namun hal tersebut memberi semangat kepada saya untuk menerokai bidang lukisan dengan lebih serius. Bersempena Pesta Wau 1994, saya menyertai Pertandingan Melukis Peringkat Kota Bharu dan sekali lagi saya mendapat tempat ketiga,\u201d ujar Roslan yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan daripada Universiti Malaya (UM).\nSelepas tamat alam persekolahan, Roslan aktif menyertai pelbagai pertandingan lukisan seperti Pertandingan Melukis Batik 1995 di Gelanggang Seni, Kota Bharu, Kelantan. Roslan mendapat tempat kelima terbaik daripada 30 orang peserta yang menyertai pertandingan tersebut.\nSeterusnya, Roslan menyambung pengajian di Akademi Seni Melaka dan UM. Selepas menamatkan pengajian di UM dalam bidang Drama dan Seni Persembahan pada tahun 2001, beliau mula kembali melukis secara serius.\n\u201cSaya mula menerokai penggunaan medium daripada akrilik dan melukis di atas kanvas. Pada awalnya, karya-karya yang dihasilkan hanya dijadikan sebagai hadiah kepada ahli keluarga terdekat. Namun setelah melihat hasil lukisan yang diberikan, mereka mencadangkan agar dijual kerana mereka berpendapat bahawa lukisan yang saya hasilkan mempunyai nilai komersial,\u201d ujar Roslan yang menjadikan pelukis terkenal negara China, Wang Peidong sebagai idola beliau.\nKata-kata semangat daripada sanak saudara dan rakan taulan menyebabkan Roslan semakin bersemangat untuk bergiat aktif menghasilkan lebih banyak lukisan di atas kanvas. Bagi meningkatkan kemahiran diri, Roslan mengambil inisiatif berkunjung ke Guangzhou dan Shenzen, China serta Jakarta, Indonesia bagi melihat dan mempelajari teknik lukisan pelukis-pelukis terkenal di kedua-dua negara tersebut.\n\u201cSeperti yang kita maklum, senario industri lukisan di China dan Indonesia jauh lebih hebat berbanding Malaysia. Maka wajarlah saya mempelajari pelbagai pendekatan para pelukis-pelukis profesional di sana. Saya juga cenderung menghasilkan karya separuh realisme dan separuh abstrak kerana dekat dengan jiwa saya, sarat dengan pelbagai mesej serta mempunyai unsur-unsur moral kepada khalayak.\nSebagai contoh, saya melukis sebuah kereta Volkswagen yang terkandas semasa banjir akibat hujan lebat berlatarkan bangunan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) sewaktu pulang dari tempat kerja dan hal tersebut memberikan saya ilham tentang kejadian banjir yang berkait rapat dengan kelangsungan kehidupan warga kota di Kuala Lumpur yang sentiasa dihambat dengan kesesakan lalu lintas,\u201d tegas Roslan.\nSelain itu, Roslan gemar mengetengahkan subjek flora atau bunga-bungaan kerana memberi banyak konotasi kepada kehidupan manusia. Selain indah dan berwarna-warni, lukisan bertemakan bunga-bungaan memberi \u201cnilai kehidupan\u201d kepada ruang sama ada di dalam rumah, pejabat, kafe, restoran atau hotel yang menggantungnya.\n\u201cPada pandangan saya, lukisan membawa suasana yang tersendiri. Jika kita lihat di ruang lobi hotel, lukisan memberi satu dimensi yang begitu indah. Selain mendapat ilham berdasarkan kejadian yang berlaku pada setiap hari, saya juga mendapat ilham untuk melukis subjek tertentu berdasarkan pembacaan dan kajian yang saya lakukan. Mungkin ada yang berpendapat bahawa melukis merupakan aktiviti yang mudah, terutamanya melukis lukisan abstrak. Hakikatnya, melukis memerlukan kemahiran yang tinggi selain bakat dan disiplin pengurusan masa.\nDi samping itu, menyiapkan sebuah lukisan kadangkala mengambil masa sehingga bertahun-tahun. Selain perlu fokus, pelukis juga perlu mengetepikan hambatan-hambatan kerja yang sentiasa mengejar. Sebagai contoh, melukis adalah sebagai aktiviti sampingan jika kita bekerja tetap. Justeru, sudah pasti kita perlu mengutamakan pekerjaan tetap berbanding dengan melukis dan sebaliknya. Oleh sebab itu, melukis memerlukan disiplin dan fokus yang tinggi. Jika tiada keseriusan, maka objektif melukis tidak akan menjadi kenyataan,\u201d ujar Roslan yang pernah menjadi Pengerusi Kelab Seni Lukis Sekolah Menengah Mulong, Kota Bharu.\nPerancangan Masa Hadapan\n\u201cSewaktu saya mengenali Pengasas Art Market Malaysia pada tahun 2019, beliau memberikan semangat kepada saya untuk lebih serius menghasilkan lebih banyak karya yang bermutu. Jika sebelum ini saya tidak menjangkakan bahawa lukisan saya akan dibeli oleh para peminat lukisan di negara ini, namun hal sebaliknya yang berlaku. Ramai peminat lukisan yang membeli karya-karya pelukis amatur seperti saya kerana Art Market Malaysia menyediakan platform yang mampu mempamerkan karya-karya yang saya hasilkan.\nSebagaimana yang kita sedia maklum, jika seseorang pelukis tidak mempunyai latar belakang akademik yang formal dalam bidang seni tampak lukisan ini, maka pasti tidak mudah untuk menjual karya lukisannya dan sukar untuk dikenali oleh para pemain industri lukisan, terutamanya pengumpul (collector) yang berprofil tinggi.\nHal ini menjadi satu kekangan kepada para pelukis amatur seperti saya dan rakan-rakan pelukis yang lain. Namun dengan kewujudan Art Market Malaysia, saya dan para pelukis yang lain sangat bertuah dapat menjadi sebahagian daripada pelukis atau artis yang bernaung di bawah satu bumbung bagi menyelaraskan pelbagai aktiviti seni tampak seperti pameran dan jualan hasil seni yang dihasilkan,\u201d terang Roslan lagi.\nImpian dan Harapan\n\u201cSaya mempunyai impian untuk memiliki sebuah galeri seni yang bukan sahaja menjual hasil karya saya, bahkan menjadi pusat sehenti kepada para pelukis amatur menjayakan pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan seni tampak.\nSelain pameran, galeri tersebut boleh dijadikan sebagai tempat untuk pertemuan para peminat seni tampak mengadakan forum, bengkel, pusat latihan, aktiviti dokumentasi dan pelbagai acara atau program tertentu. Setakat ini, saya berjaya menjual hampir 30 unit lukisan dengan pelbagai saiz.\n\u201cWalaupun saya tidak melanjutkan pengajian dalam bidang seni tampak pada peringkat sarjana, namun saya tetap mengasah bakat sebagai pelukis amatur apabila ada masa lapang. Saya melihat, menghasilkan lukisan yang berpotensi untuk menjana pendapatan sampingan,\u201d jelas Roslan mengakhiri bicara.\nProfil Pelukis \nNama: Roslan Razali\nNama komersial: Tunjong Garden\nTarikh Lahir: 28 Disember 1976\nTempat Lahir: Kampung Tunjong, Kota Bharu, Kelantan\nPendidikan:\n\u2013 Sekolah Kebangsaan Mulong, Kota Bharu\n\u2013 Sekolah Menengah Ciku 3, Gua Musang\n\u2013 Sekolah Menengah Mulong, Kota Bharu\n\u2013 Diploma Seni Penulisan, Akademi Seni Melaka\n\u2013 Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan, Universiti Malaya\nPencapaian:\n\u2013 Tempat ketiga, Pertandingan Melukis antara Sekolah-sekolah Daerah Gua Musang 1992.\n\u2013 Tempat ketiga, Pertandingan Melukis, Pesta Wau 1994 peringkat Kota Bharu.\n\u2013 Tempat kelima (Enam yang Terbaik), Pertandingan Melukis Batik 1995, Gelanggang Seni, Kota Bharu.\n\u2013 Peserta Pameran Art Market Malaysia tahun 2019 hingga tahun 2023.\nHobi: Melukis dan berkebun\nMoto hidup: \u201cHidup sentiasa belajar\u201d\nInstagram: @tunjongarden\nFacebook: Tunjong Garden" "Konsert Diraja Kementerian Pendidikan Malaysia 2023 Lambang Taat Setia dan Menjunjung Kasih Warga KPM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Konsert Diraja Kementerian Pendidikan Malaysia 2023 (KDRKPM 2023) yang bertemakan \u201cMulanya di Sini . Cerita Cinta\u201d diadakan bermula pada 24 Februari 2023 hingga 26 Februari 2023, pukul 8.30 malam hingga 11.00 malam di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.\nMatlamat dan objektif konsert ini diadakan adalah sebagai lambang taat setia dan menjunjung kasih warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda (KDYMM SPB) Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta\u2019in Billah dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.\nKDRKPM 2023 yang dianjurkan oleh KPM dengan kerjasama Istana Budaya turut dimeriahkan dengan kehadiran KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj; Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Siddiq; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato\u2019 Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato\u2019 Haji Pkharuddin Haji Ghazali dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Dr. Hazami Jahari.\nPenganjuran KDRKPM 2023 memberikan ruang dan peluang kepada murid dan guru untuk mempamerkan bakat dan potensi diri mereka menerusi seni persembahan yang merangkumi seni visual, muzik, tarian dan teater. Persembahan ini juga menggabungkan secara harmonis elemen muzik tradisional dan muzik kontemporari serantau serta dunia.\nKDRKPM 2023 juga menzahirkan persembahan hasil gabungan seni muzik dan kesenian daripada pelbagai genre sebagai santapan jiwa. Kombinasi elemen tradisional dan moden dalam muzik berjaya ditonjolkan dalam konsert ini menerusi latihan yang intensif dan disiplin diri yang kental. Hal ini menjadi tunjang KDRKPM 2023 dapat direalisasikan dengan jayanya pada tahun ini.\nDi samping itu, KDRKPM 2023 turut menggabungkan persembahan muzik orkestra dan lagu menerusi pelbagai genre merentas zaman, nyanyian, tarian serta sisipan teater sebagai elemen jalinan penceritaan konsert mengikut segmen. Sebahagian lagu yang dipersembahkan juga merupakan gubahan semula dan diberi nafas baharu untuk mendapatkan kesan yang berkualiti serta menjalinkan rasa persaudaraan dalam kalangan warga penghibur. Bahkan, KDRKPM 2023 diilhamkan sejajar dengan hasrat untuk mewujudkan Malaysia MADANI yang kaya dengan budaya, warisan dan kesenian yang luhur serta beridentiti.\nElemen \u201cCinta\u201d yang digambarkan menerusi KDRKPM 2023 pula merupakan kisah cinta yang meliputi seluruh batas kehidupan termasuklah cinta kepada Yang Maha Esa, keluarga, sahabat, negara, masyarakat dan cinta antara dua insan. Kemuncak kepada tema ini dapat dilihat menerusi garapan segmen \u201c1000 Wajah\u201d yang menggambarkan kisah warga KPM khususnya guru dan murid sewaktu mengharungi cabaran dan dugaan pandemik COVID-19, banjir besar, ribut serta pengorbanan murid dan guru di kawasan pedalaman.\nKDRKPM 2023 dijayakan oleh 248 orang jawatankuasa produksi yang terbahagi kepada enam pasukan merangkumi pengurusan, teknikal, muzik, teater, tarian dan vokal. Sesi pemilihan bagi pemuzik, penyanyi, penari dan pelakon diadakan mengikut zon di seluruh negara bermula pada 29 Mac hingga 20 Julai 2022. Selain itu, KDRKPM 2023 turut dimeriahkan dengan penampilan istimewa daripada artis terkenal tanah air seperti YBhg. Dato\u2019 Sri Siti Nurhaliza Tarudin, YBhg. Dato\u2019 Wan Aishah Wan Ariffin dan Noraniza Idris.\nSemoga penganjuran KDRKPM 2023 dapat memberikan impak positif kepada warga KPM khususnya kepada pelajar yang bakal mewarisi kepemimpinan negara dengan menyediakan platform berprestij untuk menzahirkan rasa penghargaan dan kasih sayang kepada institusi diraja dan negara selain memanfaatkan bakat pelajar dalam pelbagai bidang demi masa hadapan mereka yang lebih cemerlang." "Bahasa Melayu ke Peringkat Global\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2212Bahasa Melayu yang indah sering digunakan dalam menterjemahkan budaya dan kehidupan masyarakat di Malaysia. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikaikan fungsi dan peranannya sebagai bahasa kebangsaan. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dimantapkan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Kepentingannya sebagai bahasa ilmu yang menjadi medium pengajaran dan pembelajaran telah membawa kepada pewartaan Akta Pendidikan 1961(Pindaan 1996). Namun begitu, pada masa yang sama, masyarakat pelbagai kaum di Malaysia bebas menggunakan bahasa masing-masing dalam situasi bukan rasmi.\nMenurut YBhg. Dato\u2019 Profesor Emeritus Dr. Teo Kok Seong (Felo Utama, Institut Kajian Etnik), bahasa Melayu pernah melalui zaman kegemilangannya sejak zaman lampau. Legasi budaya lampau bahasa Melayu begitu cemerlang, berwibawa dan menjadi lingua franca bagi aktiviti perdagangan, keagamaan dan seterusnya sebagai bahasa ilmu.\nTambahnya lagi, bahasa Melayu sebenarnya telah mencapai tahap bahasa tinggi dan bahasa ilmu kerana kajian sudah membuktikan bahawa bahasa Melayu sudah menjadi bahasa saintifik moden yang mampu mengungkap segala hal dalam pelbagai bidang ilmu. Dalam hal ini, Dewan Bahasa dan Pustaka sudah lama memainkan peranannya untuk meningkatkan taraf bahasa Melayu sehingga menjadi bahasa ilmu tinggi.\nSelain itu, bahasa Melayu juga berkeupayaan untuk memandaikan anak bangsa dan memajukan negara. Namun begitu, cabarannya terletak pada tahap penggunaannya dalam masyarakat. Masih ada dalam kalangan orang Melayu selaku penutur jati yang tidak yakin dan mempertikaikan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa tinggi.\nMereka masih lagi menghadapi krisis keyakinan terhadap bahasa Melayu dan hal ini tidak sepatutnya berlaku. Keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sudah dibuktikan melalui penulisan ilmiah dan kajian yang mampu mengungkap semua bidang dengan baik dan teratur. Masyarakat Barat juga mengagumi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.\nSementara itu, YBhg. Dr. Nathesan Sellapan (Munsyi Dewan) pula berkata, pada masa ini, bahasa Melayu masih mantap dengan legasi budaya yang cukup hebat kerana kedudukan bahasa Melayu sudah terjamin dengan adanya Perlembagaan 152, iaitu kedudukan bahasa Melayu tidak boleh diganggu gugat. Namun begitu, keindahan bahasa Melayu kini agak terancam disebabkan oleh penggunaan media sosial yang semakin berkembang dan tidak terkawal sebagai alat penyebar komunikasi.\nBahasa Melayu mempunyai kira-kira 200 juta penutur. Sehubungan dengan itu, bahasa Melayu perlu diangkat kedudukannya pada peringkat ASEAN dan seterusnya ke peringkat antarabangsa. Penutur bahasa Melayu pada peringkat ASEAN juga perlu bersatu untuk mengangkat bahasa Melayu pada peringkat global. Di sini, masyarakat dapat memartabatkan bahasa Melayu ke arah kecemerlangan dari peringkat rendah hinggalah ke peringkat dunia.\nBagi Encik Muhammad Hanapi Jamaludin yang mewakili Majlis Belia Malaysia pula, media sosial dapat memainkan peranannya dalam mendaulatkan bahasa Melayu dengan baik dan berkesan sekiranya nilai tambah dapat diberi kepada bahasa Melayu sebagai bahasa pengkomersialan yang mempunyai nilai ekonomi tanpa merosakkan keindahan bahasa Melayu.\nDalam media sosial, perlu ada pelbagai ikon daripada bangsa lain seperti Cina dan India yang fasih berbahasa Melayu, yang seharusnya menjadi contoh yang baik bagi mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan negara.\nNamun begitu, masih ada dalam kalangan masyarakat yang berasa taksub dan kagum akan budaya dan bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris. Oleh itu, kesedaran mengenai keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan budaya tinggi perlu digerakkan dengan berkesan terutamanya dalam kalangan generasi muda.\u00a0 Jika ada kemahuan dan kehendak, maka kita boleh mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan budaya tinggi.\nDemikianlah penerangan menarik yang disampaikan oleh para panel yang terlibat ketika mengupas isu bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan budaya tinggi. Yang turut hadir ialah Puan Edlynna Hanie Abdul Hamid, selaku moderator dari BERNAMA dalam Program Bicara Warisan Intelektual Malaysiana \u201cBicarawara \u2013 Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu dan Budaya Tinggi\u201c yang bersiaran secara langsung pukul 10.00 pagi tadi menerusi YouTube PNM TV Channel." "Program Inspirasi KL: Kepelbagaian Kelompok dalam Pembudayaan Ilmu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Program Inspirasi KL yang diadakan oleh DBP di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama ZRA Strim dan rakan kolaborasi yang lain seperti The Sunburst Store, Serba Serbi dan\u00a0Luncai Emas merupakan satu inisiatif untuk menggalakkan generasi muda membudayakan ilmu dalam kehidupan mereka. Dalam sesi wawancara bersama-sama wartawan JendelaDBP, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari menyatakan bahawa Inspirasi KL ialah program yang menggabungkan pelbagai keperluan dan perkhidmatan yang diperlukan oleh generasi muda hari ini. Oleh itu, dalam konteks menggalakkan generasi muda membaca, kita tidak boleh menjual buku semata-mata tetapi perlu mencari nilai tambah untuk menggalakkan generasi muda mendekati buku.\nMengulas lanjut berkenaan dengan penganjuran program Inspirasi KL, YBrs. Dr. Hazami berkata,\nPenganjuran program Inspirasi KL ini diharap dapat menarik minat masyarakat untuk mendekati bahan bacaan khususnya terbitan DBP. Menariknya tentang program ini, selain mendapatkan bahan bacaan, pengunjung juga dapat mencari barang lain seperti baju atau makanan yang turut dijual di sini. Pastinya program seperti ini dapat menjana ekonomi masyarakat tempatan, di samping meningkatkan minat membaca dalam kalangan masyarakat yang mempunyai minat yang pelbagai. Oleh sebab itu, DBP perlu meningkatkan kerjasama dengan pihak luar dalam penganjuran aktiviti seperti ini lagi pada masa-masa akan datang.\nTambah beliau lagi, dalam konteks galakan membaca, ibu bapa memainkan peranan penting untuk memilih bahan bacaan anak-anak. Selain itu, penerbit juga harus menyediakan bahan bacaan yang baik agar dapat memenuhi permintaan daripada pembaca. Dalam usaha ini, mana-mana penerbit harus beringat tentang kawalan terhadap penggunaan bahasa Melayu yang betul dan kandungan terbitannya agar mematuhi garis undang-undang negara. Selain itu, untuk menyebarluaskan bahan bacaan, penerbit perlu mengikuti trend perkembangan teknologi agar setiap karya yang diterbitkan sampai kepada pembaca.\nProgram Inspirasi KL yang diadakan bermula dari 24 hingga 26 Februari 2023 ini terbahagi kepada tiga segmen, iaitu fesyen, muzik dan perbukuan yang mungkin mencetuskan gerakan budaya yang progresif dan penuh inspirasi. Segmen fesyen menyaksikan kolaborasi antara Sunburst Store, kedai Serba Serbi dan DBP. Pasar karat pula disertai oleh peniaga yang mempamerkan fesyen dan gaya hidup. Antara pengisian program itu termasuklah Pasar Karat \u201cSerba Sunburst\u201d, komuniti buku bersama-sama ZRA Strim, persembahan muzik \u201cTemasya Anak Muda\u201d oleh Luncai Emas, pameran pakaian vintaj Vivienne Westwood, perhimpunan penggemar denim, inspirasi lokal, pameran motosikal klasik, dan trak makanan dan kopi.\nPersembahan muzik yang dianjurkan oleh Luncai Emas bertemakan \u201cTamasya Anak Muda\u201d bakal menampilkan kumpulan muzik daripada pelbagai genre muzik yang mencetuskan inspirasi bagi pendengar. Segmen komuniti buku dan perbukuan pula dianjurkan oleh ZRA STRIM yang mengundang penerbit buku untuk bersama-sama memeriahkan acara ini. Aktiviti INSPIRASI LOKAL pula menghimpunkan jenama lokal dari seluruh Malaysia. Program ini juga dimeriahkan dengan pameran pakaian vintaj oleh pereka fesyen legenda, iaitu Vivienne Westwood yang menggerakkan perubahan fesyen dunia dan merupakan aktivis alam sekitar yang banyak menyumbang kepada kelestarian alam.\nMenerusi program tersebut, pempamer buku dari Negeri Sembilan, Nazlan Sulaiman turut meluahkan rasa seronok kerana berpeluang menyertai Inspirasi KL. Menurutnya, beliau amat tertarik dengan konsep penganjuran program ini kerana menghimpunkan banyak barang seperti buku, baju, muzik dan makanan. Hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan jumlah bilangan pembaca dalam kalangan generasi muda kerana apabila mereka berkunjung ke sini, mereka akan dapat melihat pelbagai genre buku yang dipamerkan. Namun demikian, dalam usaha untuk meningkatkan bilangan pembaca buku, penerbit buku haruslah membanyakkan terbitan buku yang menyelitkan nilai serta mesej yang boleh diadaptasi oleh pembaca dalam kehidupan mereka.\nPandangan Nazlan turut disokong oleh Ahmad Khushairi, pengunjung dari Melaka. Bagi Khushairi, aktiviti perbukuan ini sangat sesuai digabungkan dengan pameran lain seperti yang dianjurkan dalam program Inspirasi KL ini. Hal ini disebabkan kelompok peminat buku ini sangat kecil. Gabungan dengan kelompok lain membolehkan kelompok buku lebih berkembang." "\u201cTanah Air: Passing Through the Malay Archipelago\u201c Naratif Pertemuan dan Pertembungan Budaya dan Tamadun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sempena penganjuran Kuala Lumpur Alternative Bookfest 2023 (KLAB 2023) yang berlangsung selama empat hari bermula dari 23 hingga 26 Februari 2023, sebuah syarikat penerbitan buku mandiri, iaitu Toko Buku Pujangga Baru telah melaksanakan inisiatif gigih untuk menganjurkan sebuah majlis peluncuran dan bicara buku yang dinukilkan oleh Profesor Dato\u2019 Dr. Ahmad Murad Merican dengan buku yang bertajuk Tanah Air: Passing Through the Malay Archipelago.\nMajlis peluncuran dan bicara buku ini merupakan satu daripada 12 acara yang dianjurkan sepanjang KLAB 2023 berlangsung dan diadakan di pentas utama Pasar Seni, Kuala Lumpur pada hari Sabtu, 25 Februari 2023 jam 4.00 hingga 5.00 petang. Majlis ini juga dikendalikan oleh saudara Sadiq Salihoddin selaku moderator dengan mengundang dan menampilkan Profesor Dato\u2019 Dr. Ahmad Murad Merican sebagai penulis buku dan pembicara satu dan saudara Fadhrul Irwan selaku pembicara kedua. Majlis ini turut dirasmikan oleh Puan Adibah Omar selaku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku.\nSesi pertama majlis tersebut berfokus kepada sesi bicara buku. Menurut Profesor Dato\u2019 Dr Ahmad Murad Merican, buku Tanah Air: Passing Through the Malay Archipelago ini merupakan himpunan penulisan artikel beliau yang pernah diterbitkan dalam Melaka Hari Ini (MHI), sebuah syarikat media rasmi yang khusus untuk menerbitkan akhbar mingguan yang bertempat di Ayer Keroh, Melaka.\n\u201cBuku Tanah Air: Passing Through the Malay Archipelago ini bukan sebuah buku sejarah, sebaliknya adalah sebuah buku naratif. Menerusi buku ini, saya menginterpretasikan pandangan saya tentang sifat dan pengertian kosmopolitan itu sebagai pertemuan dan pertembungan segala budaya dan tamadun, di samping turut dijadikan sebagai satu bentuk wahana bagi menyangkal dakwaan sesetengah golongan cerdik pandai bahawa orang Melayu tiada tamadun,\u201d kata Profesor Dato\u2019 Dr. Ahmad Murad Merican.\nFadhrul Irwan selaku pembicara kedua turut mengutarakan pandangan beliau dengan menyorotkan isi kandungan yang terdapat dalam buku tersebut. Menurut Fadhrul Irwan, setelah meneliti daripada satu lembaran ke lembaran yang seterusnya mengenai inti pati yang hendak disampaikan dalam buku Tanah Air: Passing Through the Malay Archipelago, Profesor Dato\u2019 Dr. Ahmad Murad Merican cuba membawa satu tema dan tidak menyusunnya secara kronologikal.\n\u201cSaya melihat lima perkara utama yang dapat disorotkan dan dikupaskan daripada buku ini. Kita melihat contoh kerajaan Srivijaya yang merupakan sebuah kerajaan Melayu yang bukan sahaja sebagai sebuah emporium yang cukup gah dan masyhur, bahkan merupakan sebuah pusat keintelektualan. Walau bagaimanapun, orang hanya mula melihat dan mengenali kosmopolitan dan maknanya apabila melihat kota Melaka. Sebelum berdirinya kota Melaka, rantau Nusantara ini sebenarnya sudah dipenuhi dengan orang ramai serta berlakunya pertembungan budaya dan agama kerana kewujudan kerajaan-kerajaan Melayu silam. Namun begitu, sifat nasionalisme yang terlalu tinggi menyebabkan wujud stigma bahawa orang di rantau Nusantara ini dianggap sebagai orang asing disebabkan oleh dasar kolonialisme yang dijalankan oleh kuasa Barat pada suatu ketika dulu,\u201d ujar Fadhrul Irwan.\nFadhrul Irwan turut mengetengahkan pandangan beliau tentang berlakunya pelbagai isu tafsiran yang berkait rapat dengan definisi dan konsep rantau dan perantauan. \u201cKita tidak membawa sebarang interpretasi baharu mengikut sudut pandang atau worldview sebagai orang dan masyarakat berbangsa Melayu, sebaliknya kita hanya meneruskan atau mewarisi sahaja interpretasi Barat dan metodologi mereka,\u201d kongsi Fadhrul Irwan.\nSesi bicara buku ini diteruskan dengan ucapan penggulungan daripada Profesor Dato\u2019 Dr. Ahmad Murad Merican dan Fadhrul Irwan. \u201cSaya mengumpul dan menulis serta menyusun semula idea mengenai tempat saya menetap. Saya adalah warga kepulauan Melayu dan warga tanah air ini, maka hal ini menjadi sebagai satu ekspresi dan taman permainan dari segi geografi dan visual. Buku ini dibaca sebagai satu realiti dan saya juga berasa bahawa perkara yang hendak saya kupas sama ada mengenai tempat, budaya, imej tanah air dan rantau ini tidak semestinya betul,\u201d jelas Profesor Dato\u2019 Dr. Ahmad Murad Merican. Fadhrul Irwan juga berpendapat yang sama bahawa buku ini adalah sebuah naratif dan kronikal yang memuatkan realiti sejarah, budaya dan sosiologi di Kepulauan Melayu.\nSesi peluncuran buku kemudian diteruskan dengan menjemput Adibah Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku untuk menyampaikan sepatah dua kata dan merasmikan majlis peluncuran dan bicara buku Tanah Air: Passing Through the Malay Archipelago.\n\u201cSaya berharap agar masyarakat dari pelbagai lapisan khususnya golongan muda dapat membaca, menikmati serta menelaah buku Tanah Air: Passing Through the Malay Archipelago ini agar dapat mengenali budaya dan tamadun kita dengan lebih mendalam,\u201d ujar Adibah Omar.\nAdibah Omar turut mengambil kesempatan untuk menerangkan \u00a0kepada para hadirin mengenai usaha yang kini sedang giat dijalankan oleh Perbadanan Kota Buku untuk mewujudkan sebuah gedung jualan buku secara dalam talian yang pastinya akan membawa pelbagai manfaat kepada semua pihak." "Satira Sitkom Mengangkat Isu Cinta dan Darjat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTanjung Malim \u2013 Pada 25 Februari 2023 yang lalu, sebuah pementasan teater Sitkom Muzikal Komedi Aku dan Dia telah dipentaskan dengan jayanya. Pementasan teater ini merupakan hasil karya dan arahan Tengku Azman Shah dan Ameliana Nadia atau lebih mesra dengan panggilan KuMel. Teater ini berlangsung di Panggung Percubaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan mendapat sokongan dan sambutan yang memuaskan.\nBarisan pelakon yang terlibat merupakan ahli produksi teater yang sudah biasa bermain dengan pentas dan berpengalaman dalam bidang lakonan. Antaranya termasuklah Amirah Razak, Merah Malam, Faizal Ruhaijat, Fahim Fuad, Aidilduha, Asila, Firash Yash, Harith Jumat, Pojie, Aiman Meng, Murni dan Husna. Selain itu, produksi ini juga mendapat bantuan daripada tenaga pelajar teater diploma semester 2 dan 4, pelajar ijazah sarjana muda semester 1, 3 dan 4 serta pelajar muzik daripada Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) UPSI.\nPengarah telah memilih gaya Devised Theater bagi menjayakan pementasan teater. Gaya ini lebih bebas memberi ruang kepada pelakon untuk bermain dengan watak apabila mereka perlu melakukan proses kerja-kerja kolaborasi kreatif secara berkumpulan tanpa skrip tetap yang mengikat mereka. Paling menarik, teknik ini memerlukan pelakon melakukan improvisasi ketika persembahan kerana jalan cerita yang diberikan hanya sebagai panduan kepada pelakon. Hasil temu bual bersama salah seorang pelakon, mereka hanya mempunyai masa lebih kurang dua minggu untuk melakukan proses kerja kreatif bagi memastikan perjalanan pementasan teater berjalan dengan lancar.\nSecara ringkas, teater Sitkom Muzikal Komedi Aku dan Dia mengisahkan tentang watak Mira yang bercinta dengan Daus secara rahsia tanpa pengetahuan ibu bapa mereka kerana hubungan yang tidak direstui keluarga. Pada suatu hari, Ejal yang baharu saja pulang dari London bertemu dengan ketua kampung bagi merisik Mira sambil ditemani bapa Ejal, seorang yang sangat kaya bersama-sama rakan baiknya. Dari satu sudut yang berbeza, watak Cikgu Pojie bersama-sama Aiman banyak menghabiskan masanya di Blind Corner, warung milik Pak cik Yash. Cikgu Pojie dan Aiman yang datang ke warung sering kali mengusik dua orang anak dara Pak cik Yash, iaitu Husna dan Murni.\nKesimpulannya, cerita ini mengangkat tentang isu antara cinta, keluarga, harta dan darjat di samping pengarah juga cuba mengetengahkan elemen muzik tradisional Malaysia seperti rebana dalam pementasan teater yang berlangsung.\nPenganjur utama bagi pementasan teater Sitkom Muzikal Komedi Aku dan Dia ini adalah Pertubuhan Seni Laskar Lantera dengan kerjasama Pusat Kebudayaan UPSI dan dijayakan oleh produksi Seven Idiots bersama-sama Thespian Resources. Produksi ini mendapat tajaan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta mendapat tajaan lain daripada Kedai Makan Pyor, Medan Selera Tanjong Malim dan lain-lain.\nPementasan teater pada malam tersebut dimeriahkan dengan kehadiran ahli panel daripada MOTAC, Dekan FMSP serta rombongan Man Raja Lawak. Semoga usaha pelajar ini dapat membuka mata banyak pihak supaya memberikan peluang dan sokongan kepada pelajar bidang seni persembahan agar dapat berkarya serta mendapat sokongan penuh dan tajaan yang kukuh daripada pelbagai pihak yang terlibat." "Kisah dan Sejarah Orang Melayu Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSiapakah orang Melayu Sarawak? Adakah mereka sama seperti orang Melayu yang lain? Persoalan ini menjadi tanda tanya bukan sahaja bagi orang Melayu dari luar Sarawak, malah orang Melayu Sarawak itu sendiri. Semua tahu bahawa umumnya orang Melayu itu pada awalnya merupakan bangsa yang berhijrah dari Tonkin, kawasan di antara utara Vietnam dengan selatan China. Spekulasi Melayu datang dari Tonkin ini semakin kuat apabila terdapat persamaan perkataan dalam kalangan masyarakat tempatan, tumbuhan dan juga binatang di wilayah tersebut dengan wilayah Nusantara.\nIstilah Melayu telah lama muncul dalam sejarah Melayu sejak abad ke-7 menerusi tulisan I-Tsing pada tahun 648 Masihi semasa beliau berada di Sumatera. Hal ini dapat dilihat bahawa istilah Melayu yang terawal bersumberkan dari Sumatera dan akar Melayu berpusat di Sumatera. Kewujudan karya agung pula turut menggunakan istilah Melayu dalam karya masing-masing seperti yang terdapat dalam Negarakartagama dan Sejarah Melayu. Walaupun terdapat banyak spekulasi dan cerita berkenaan dengan orang Melayu di Tanah Melayu khususnya, namun tidak banyak yang mengetengahkan cerita atau sejarah berkenaan dengan asal-usul orang Melayu Sarawak.\nSarawak\nSarawak merupakan sebuah negeri terbesar yang ada di Malaysia yang terletak di wilayah barat di Pulau Borneo. Sarawak turut dikenali sebagai Bumi Kenyalang yang juga merupakan inspirasi jata rasmi negeri tersebut. Di Sarawak, masih terdapat banyak cerita sejarah yang belum dirungkai oleh para sejarawan disebabkan oleh kurangnya penulisan berkaitan sejarah dan hal ini termasuklah sejarah berkenaan asal-usul orang Melayu Sarawak.\nTerdapat pelbagai usaha yang dilaksanakan dalam merungkai sejarah asal-usul orang Melayu Sarawak oleh beberapa pengkaji tempatan. Usaha ini haruslah diberikan pengiktirafan kerana dengan usaha mereka, kita dapat mengetahui berkenaan kewujudan masyarakat di sesuatu kawasan tersebut. Hal ini bukan sahaja dapat menambah dan mengembangkan sejarah negara, malah dapat menarik perhatian para pengkaji asing untuk mengetahui dan mengkajinya dengan lebih lanjut dan terperinci.\nAsal Usul Melayu Sarawak\nAsal usul orang Melayu Sarawak masih lagi menjadi persoalan utama buat kita semua. Namun begitu, terdapat sumber sejarah terawal yang ditulis oleh orang peribumi dalam memperakukan asal usul bangsa Melayu Sarawak. Sumber sejarah terawal tersebut ialah Hikayat Sarawak yang ditulis pada tahun 1932. Hikayat ini menyatakan bahawa orang Melayu Sarawak merupakan sebahagian daripada rumpun Melayu Nusantara yang lebih luas.\nMaksud rumpun Melayu Nusantara yang lebih luas ialah orang Melayu Sarawak berasal dari pelbagai negeri merangkumi Melayu Brunei yang berasal dari Johor dan ada juga yang datang secara langsung dari Minangkabau. Terdapat juga kemungkinan atau kepercayaan bahawa orang Melayu Sarawak mempunyai kaitan atau susur galur dari Mongolia yang bercampur baur dengan bangsa-bangsa lain seperti bangsa Arab dan India. Kedatangan bangsa-bangsa lain ini kebiasaannya dikaitkan dengan aktiviti perdagangan seperti menjalankan aktiviti jual beli dan berkahwin dengan penduduk tempatan serta menetap di kawasan tersebut.\nWalau bagaimanapun, terdapat satu teori atau aliran yang percaya bahawa orang Melayu sememangnya berasal dari Sarawak dan bukannya berhijrah dari kawasan lain. Orang Melayu Sarawak merupakan penghuni asal negeri Sarawak bersama-sama dengan kaum peribumi yang lain, yakni sama seperti orang Melayu yang menetap di Brunei, Sabah, Semenanjung Malaysia dan Indonesia.\nTerdapat juga kepercayaan bahawa orang Melayu Sarawak merupakan keturunan daripada Datu Merpati Jepang dari Jawa atau Minangkabau dan Abang Gudam dari Sumatera. Kepercayaan-kepercayaan ini wujud hasil daripada cerita lisan masyarakat tempatan di Kuching, khasnya golongan Melayu Perabangan yang sering dikaitkan dengan Datu Merpati Jepang dan anak lelakinya, Merpati Jepang.\nPetempatan Orang Melayu Sarawak\nDalam peradaban Melayu Sarawak, terdapat unsur pengaruh daripada zaman kegemilangan Empayar Majapahit yang membawa kepada penaklukan Borneo. Hal ini dikatakan sedemikian kerana terdapat tiga nama tempat di Borneo sewaktu berada di bawah kuasa pemerintahan empayar Majapahit yang dianggap mempunyai nama yang sama dengan nama beberapa tempat di Sarawak pada hari ini seperti Sawaku, Melano dan Kalaka.\nKewujudan tempat-tempat ini telah berjaya membuktikan kewujudan permulaan peradaban manusia di Sarawak. Kemunculan tempat-tempat ini juga adalah sejajar dengan kewujudan politi-politi awal di Alam Melayu seperti Lembah Bujang di Kedah pada abad ke-4, Kuala Selinsing di Perak dan Kan-t\u2019o-li di Sumatera pada abad ke-5, Srivijaya dan Melayu Jambi pada abad ke-7, Surabaya dan Tuban di Jawa Timur pada abad ke-11, Melaka pada abad ke-15 dan Aceh pada abad ke-17.\nWalaupun tidak banyak maklumat yang diketahui berkenaan penempatan yang dinyatakan, namun dalam cerita-cerita sastera masyarakat Melayu Sarawak ada menyatakan bahawa penempatan awal Orang Melayu Sarawak adalah di Muara Tebas, Santubong dan Tanjung Sipang.\nSelain itu, agak sukar untuk kita mempercayai cerita sastera ataupun cerita dongeng yang lazimnya diperkatakan oleh masyarakat Melayu tetapi terdapat bukti arkeologi yang menunjukkan kewujudan penempatan dan pelabuhan khususnya di Santubong.\nAntara bukti yang dijumpai termasuklah wang syiling China bertarikh 600 sebelum Masihi dan 112 sebelum Masihi serta serpihan tembikar China yang bertarikh 588 Masihi yang membuktikan kewujudan petempatan dari abad sebelum Masihi hingga abad ke-6 Masihi. Bukti-bukti ini menunjukkan bahawa penempatan orang Melayu Sarawak pada zaman itu telah berkembang daripada sebuah perkampungan menjadi sebuah pusat perdagangan yang maju di Kepulauan Melayu.\nPengaruh Kerajaan Luar\nSelain itu, terdapat juga pengaruh Kerajaan Brunei dalam kalangan orang Melayu Sarawak. Hal ini dapat dilihat dalam aspek peranan mereka dipertingkatkan bagi mentadbir wilayah-wilayah dalam empayar Brunei. Sebagai contoh, terdapat tiga ketua orang Melayu yang mempunyai kuasa untuk memerintah Sarawak yang terdiri daripada Datu Patinggi, Datu Bandar dan Datu Temenggung. Mereka merupakan pemerintah yang memainkan peranan yang besar dalam menjaga kebajikan penduduk dan mengutip cukai.\nRentetan itu, dapat dilihat bahawa strata paling tinggi dalam masyarakat Melayu Sarawak ialah golongan Melayu Perabangan. Mereka menggunakan gelaran \u201cAbang\u201d bagi kaum lelaki dan gelaran \u201cDayang\u201d bagi kaum wanita pada pangkal nama mereka. Namun disebabkan wujud pengaruh Kerajaan Brunei dalam kalangan masyarakat Melayu Sarawak, maka terdapat juga gelaran \u201cPengiran\u201d, \u201cAwang\u201d, \u201cAwangku\u201d dan \u201cDayangku\u201d pada pangkal nama sesetengah orang Melayu Sarawak. Di samping itu, terdapat juga pengaruh Arab Islam di Sarawak yang kesannya terhasillah gelaran seperti \u201cSharip\u201d, \u201cTunku\u201d, \u201cWan\u201d dan \u201cSharifah\u201d pada pangkal nama penduduk Sarawak.\nPekerjaan Orang Melayu Sarawak\nOrang Melayu Sarawak kebiasaannya terlibat dalam aktiviti perdagangan, perikanan, pertanian dan pertukangan. Mereka menjalankan aktiviti perdagangan secara dalaman dengan penduduk pedalaman seperti orang Iban dan Kayan serta masyarakat yang menetap di seberang laut. Sewaktu berlayar di laut, orang Melayu Sarawak membawa bersama-sama barang dagangan seperti kain, ikan dan garam untuk ditukarkan dengan barangan hasil hutan yang dijual oleh masyarakat lain. Manakala gelaran \u201cNakhoda\u201d kebiasaannya digunakan bagi mencerminkan bahawa identiti diri mereka merupakan para pedagang Melayu Sarawak pada zaman itu.\nOrang Melayu Sarawak juga terlibat dalam aktiviti perikanan. Kebanyakan penempatan orang Melayu Sarawak berada di pesisir pantai dan hal memudahkan mereka untuk melibatkan diri dalam aktiviti nelayan. Kawasan seperti Santubong, Sematan, Pasir Pandak, Buntal, Muara Tebas dan Bako merupakan kawasan penangkapan ikan utama bagi penduduk Melayu Sarawak. Dalam menjalankan aktiviti perikanan ini, orang Melayu Sarawak telah mencipta beberapa peralatan atau teknologi bagi memudahkan pekerjaan mereka. Antara contoh peralatan dan teknologi tersebut termasuklah jala siar, jala laut, pento, ranto, belat dan bumboo yang merupakan peralatan tradisional orang Melayu Sarawak untuk menangkap ikan.\nOrang Melayu Sarawak juga melibatkan diri dalam aktiviti pertanian dengan menanam pelbagai hasil tanaman seperti kelapa, padi huma dan buah-buahan tropika. Dalam kegiatan pertukangan pula, orang Melayu Sarawak terlibat dalam pembinaan kapal dan perahu untuk digunakan dalam aktiviti perikanan. Hal ini sama seperti orang Melayu di Semenanjung Malaysia yang turut mencipta peralatan untuk memudahkan pekerjaan mereka dalam urusan mencari rezeki. Pembuatan kapal yang besar dengan kehalusan kerja-kerja pertukangannya dipuji dan diakui sendiri oleh James Brooke selaku pemerintah negeri tersebut pada suatu ketika dahulu.\nKesimpulannya, sejarah berkaitan dengan orang Melayu Sarawak masih lagi kurang ditonjolkan dan diketengahkan. Oleh hal yang demikian, semoga penulisan ini dapat menyumbang sedikit sebanyak maklumat dan ilmu pengetahuan berkenaan dengan orang Melayu Sarawak. Hakikatnya, orang Melayu Sarawak mempunyai pelbagai asal keturunan dan bukannya berasal daripada keturunan yang sama." "Berhibur Sambil Menimba Ilmu Pengetahuan di Festival Buku Langkawi 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2013 Pada 23 hingga 27 Februari lalu, telah berlangsungnya Festival Buku Langkawi 2023 di Langkawi Fair Shopping Mall, Kuah, Langkawi. Majlis tahunan ini diusahakan bagi meraikan musim cuti persekolahan dan pada masa yang sama dapat memberi peluang kepada penduduk setempat untuk mendapatkan bahan bacaan terkini merangkumi pelbagai genre daripada pelbagai penerbit dan penjual. Majlis pelancaran dirasmikan oleh Ahli Majlis Kerajaan Kedah Darul Aman merangkap Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Yang Berhormat (YB) Encik Mohd Firdaus Ahmad.\nSelain jualan buku, pelbagai aktiviti telah diadakan. Antara aktiviti hiburan yang dilaksanakan termasuklah seperti persembahan nyanyian oleh The Commitment Band, persembahan kanak-kanak dan maskot bertajuk \u201cAnak-Anak Riang, Perpaduan Terbilang\u201d, perkongsian tentang doodle art yang bertajuk \u201cMy Inspiration\u201d oleh Elisha Huda, persembahan pentas \u201csantai seni pentas\u201d oleh Persatuan Teater Alor Setar, persembahan nyanyian oleh artis Along Zaimi Mentor dan aktiviti cabutan bertuah. Selain itu, turut diadakan aktiviti santai seperti pertandingan mewarna keluarga dan maskot dengan tema \u201cCeria Cuti Sekolah\u201d serta pertandingan gubahan kreatif (gubahan coklat).\nSepanjang festival berlangsung, program-program perkongsian seperti bicara dan ceramah turut diadakan bagi menambah ilmu pengetahuan serta perkongsian dengan topik khas kepada penduduk dan pengunjung. Antaranya seperti program wacana sasterawan dengan tajuk \u201cSaujana Kata Sasterawan\u201d oleh Sasterawan Negara, Dato\u2019 Rahman Shaari dan bicara buku karya penulis Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) oleh Sanusi Daud dan Dr. Husairi Hussin,\nDi samping itu, turut berlangsung pelancaran buku penulis Utara merangkumi Nur di Ufuk Timur karya Zarida Rasdi, Berkongsi Takdir karya Hasan Baseri Budiman, Fragmen Memori di Daerah Sepi karya Rosnani Ahmad, Pulau Kasih karya Zainol Idris dan Luka Rindu karya Zaidin Abadi serta bicara sukan dengan tema \u201cSembang Bola\u201d bersama-sama legenda bola sepak negeri Kedah, Ahmad Fauzi Shaari (Pak Long) dan Shafizan Hashi (Pelam).\nSelain itu, bersempena Festival Buku Langkawi 2023 turut diadakan ceramah agama bertemakan \u201cBila Hati Mati\u201d oleh Ustaz Mahi Raja, wacana bahasa bertajuk \u201cBerkarya Berbahasa\u201d oleh Munsyi Dewan Bahasa dan Pustaka, Munsyi Mohamad Musip, bicara tokoh dengan tajuk \u201cJenayah dan Keselamatan Komuniti\u201d oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia, CP Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ceramah Inspirasi dengan tema \u201cInspirasi OKU: Yakin Boleh\u201d oleh penerima Anugerah Cemerlang OKU Kebangsaan, Mohd Sukur Ibrahim.\nFestival Buku Langkawi dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kedah dan Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah dengan kerjasama Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP), Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Kementerian Perpaduan Negara, Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Kerja Raya dan Langkawi Fair Shopping Mall.\nFestival ini turut mendapat sokongan daripada rakan strategik daripada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) serta perpustakaan setiap negeri. Pengisian aktiviti sepanjang festival ini turut disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah." "Lagu Inilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia Menyeru Rakyat Malaysia Menyokong Industri Pelancongan Domestik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 \u201cInilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia\u201d merupakan lagu kempen terbaharu Tourism Malaysia untuk menyeru rakyat Malaysia supaya terus memberikan sokongan kepada industri pelancongan domestik.\nMenteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato\u2019 Sri Tiong King Sing berkata, slogan \u201cInilah Masanya\u201d memanifestasikan satu seruan kepada rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan kepada industri pelancongan domestik agar terus berdaya tahan tatkala berdepan dengan krisis pandemik COVID-19.\n\u201cSelain berlari santai sambil menghirup udara segar, program ini secara tidak langsung dapat mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong menerusi aktiviti sukan, rekreasi, seni dan kebudayaan,\u201d kata YB Dato\u2019 Sri Tiong King Sing sewaktu menyempurnakan majlis pelancaran lagu kempen \u201cInilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia\u201d dan acara larian santai sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.\nTambah beliau, menerusi kempen ini, diharapkan lebih ramai rakyat Malaysia melakukan pergerakan melancong merentasi pelbagai negeri dan sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.\nLagu \u201cInilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia\u201d didendangkan buat pertama kali secara langsung oleh penyanyi Nik Qistina. Lagu tersebut merupakan hasil gubahan komposer Ananth Kumar dan lirik nukilan James Boyle. Video lagu ini boleh ditonton di https://youtu.be/t4TrhUIjSWQ.\nKempen \u201cInilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia\u201d memfokuskan kepada segmen keluarga dan golongan milenial dengan mengetengahkan tema produk dan destinasi pelancongan berteraskan keseronokan keluarga, eko pelancongan dan kembara, pulau dan pantai, segmen beli-belah serta budaya dan warisan.\nSelain pelancaran kempen \u201cInilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia\u201d, acara larian santai anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama Persatuan Rekreasi Wilayah Malaysia (PRWIM) juga diadakan bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada tahun ini. Seramai 5302 peserta telah mengesahkan penyertaan dalam larian sejauh 7 kilometer menggunakan laluan Pagi Bebas Kenderaan Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Car-Free Morning) bagi kategori individu dan keluarga.\nPelepasan para peserta telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato Sri Tiong King Sing. Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif (Pengurusan) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Tuan Khairul Anuar Mhd Juri yang mewakili Datuk Bandar Kuala Lumpur; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Hajah Saraya Arbi serta Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dato\u2019 Haji Zainuddin Abdul Wahab.\nSambutan Hari Wilayah Persekutuan juga diserikan dengan program Pameran Santai @ Kuala Lumpur \u2018\u2019Me & Mycity\u2019\u2019 di Dataran Merdeka yang menawarkan penjualan pelbagai pakej pelancongan yang menarik. Antara pempamer yang menyertai astaka Tourism Malaysia pada kali ini ialah Menara Kuala Lumpur, Persatuan Spa Malaysia (AMSPA), C\u2019woks Design (Batik Tulis), Premiera Hotels & Resort serta Farhan Travel & Tours.\nSelain itu, terdapat pelbagai aktiviti menarik menanti para pengunjung seperti demonstrasi batik dan terapi spa yang turut ditawarkan oleh para penggiat industri." "Pesta Angin Timur Perlis Menyemarakkan Aktiviti Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Tempatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pesta Angin Timur Perlis yang dianjurkan sejak tahun 2011 kini bakal diadakan semula pada tahun ini bermula 3 hingga 5 Mac 2023, pukul 10 pagi hingga 11 malam bertempat di Kampung Sungai Padang, Simpang Ampat, Perlis.\nHal ini turut dijelaskan oleh Saifulkhairi Ahmad yang merupakan Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengembangan Seni dan Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam temu bual rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini bagi mengupas topik \u201cPesta Angin Timur Perlis 2023\u201d.\nSaifulkhairi Ahmad membuka tirai bicaranya dengan menjelaskan tentang latar belakang berkenaan penganjuran Pesta Angin Timur Perlis. Menurut beliau, pesta tersebut mula dianjurkan pada tahun 2011 dan masih diteruskan hingga kini yang melibatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Perlis. Kerajaan persekutuan diterajui oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) dan diselaraskan oleh JKKN serta pengoperasian dilaksanakan oleh Majlis Kebudayaan Negeri Perlis. Manakala peringkat negeri Perlis pula mendapat kerjasama daripada Kerajaan Negeri Perlis dan agensi-agensi di bawahnya.\n\u201cProgram ini sebenarnya dijenamakan bersempena dengan peredaran musim sejuk kepada musim panas yang dibawa oleh angin dari sebelah timur ke negeri Perlis. Selepas menuai padi, sementara menunggu petak sawah digenangi dengan air, maka waktu itulah kita mengadakan Pesta Angin Timur,\u201d ujar Saifulkhairi Ahmad.\n\u201cPenganjuran Pesta Angin Timur bagi tahun 2023 akan dilaksanakan di Kampung Sungai Padang, Simpang Ampat Perlis. Kawasan kampung ini sememangnya sangat indah, ada sawah padi, pantai dan kita boleh melihat pelbagai aktiviti masyarakat kampung yang sangat unik untuk ditonjolkan,\u201d kata Saifulkhairi Ahmad.\nJelas beliau lagi, matlamat utama penganjuran pesta ini adalah untuk mempromosikan dan menyemarakkan aktiviti kebudayaan, kesenian dan warisan tempatan kepada pelancong domestik dan pelancong antarabangsa di samping mempromosi industri pelancongan di negeri Perlis serta meningkatkan kefahaman dan apresiasi seni budaya kepada segenap lapisan masyarakat ke arah pembentukan perpaduan bangsa yang harmoni sesuai dengan hasrat Malaysia Madani.\nSaifulkhairi Ahmad turut menjelaskan bahawa pelbagai aktiviti bakal diadakan dalam pesta tersebut. Antaranya termasuklah larian angin timur (larian di atas batas-batas bendang), pertandingan lumba kerbau besi, pertandingan menangkap itik, pertandingan menggagau ikan, pertandingan ayam serama cantik dan penganjuran \u201cKenduri Rakyat\u201d yang menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian dan bermasyarakat.\nDi samping itu, banyak elemen baharu telah direncanakan untuk diketengahkan kepada para pengunjung yang merangkumi 34 acara secara keseluruhan seperti pertandingan Jerami Ikon, pameran Motor Home, pameran lori berhias, pertandingan kenderaan 4\u00d74 di bendang, demonstrasi memanah berkuda, pertandingan dangau tradisional kreatif, pertandingan melukis dan banyak lagi.\nPada akhir sesi temu bual, Saifulkhairi Ahmad menyatakan bahawa pihak jawatankuasa penganjur Pesta Angin Timur Perlis 2023 sangat berbesar hati dengan kesudian Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shareen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis yang berkenan mencemar duli untuk menyempurnakan majlis perasmian yang dijadualkan pada 5 Mac 2023, jam 5 petang. Beliau juga mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk berkunjung ke negeri Perlis pada 3 hingga 5 Mac 2023 bagi memeriahkan lagi Pesta Angin Timur 2023 yang menyediakan pelbagai pengisian." "Apresiasi Spilt Gravy on Rice: Filem Kita Wajah Kita\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nUlu Klang \u2013 Hari ini bertempat di Pawagam Mini P. Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah berlangsung Majlis Apresiasi Filem Spilt Gravy on Rice (Ke Mana Tumpahnya Kuah) arahan Datuk Zahim AlBakri anjuran Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dengan kerjasama FINAS.\nSebelum diterbitkan dalam genre filem komedi gelap (dark comedy), terlebih dahulu karya yang terhasil daripada cetusan karyawan industri kandungan kreatif negara, iaitu Allahyarham Jit Murad telah terhasil dalam genre teater pada tahun 2002.\nKarya yang \u201chidup\u201d sejak lebih dua dekad ini seperti perjalanan makhluk yang belum dipanggil untuk \u201ckembali\u201d kepada Pencipta-Nya. Karya ini dinamik dan unggul dalam meniti zamannya. Lantaran karya ini \u201cberdiri dan hidup\u201d serta jujur, akhirnya setelah lebih 20 tahun dihasilkan, karya ini telah menemukan kejayaan yang tidak pernah dijangka apabila layak dicalonkan dalam 15 kategori Festival Filem Malaysia (FFM) yang ke-32 pada tahun lalu.\nUsaha yang tidak pernah berhenti menghidangkan pemaknaan yang mendalam menerusi filem ini akhirnya membuahkan kejayaan cemerlang kepada dedikasi merakamkan kenangan teratak keluarga AlBakri menerusi filem ini apabila mengungguli FFM ke-32 pada tahun lalu sebagai Filem Terbaik.\nPresiden FDAM, Dr.\u00a0Ahmad Ibrahim menegaskan bahawa filem mempunyai pemaknaan yang luas dan sebagai meraikan proses kreativiti dalam menghasilkan sesebuah filem, program apresiasi seperti ini amat perlu bagi membuka lagi minda masyarakat umum khususnya pencinta seni dan karyawan filem dalam memahami fungsi filem kepada masyarakatnya dan juga pemikiran yang disampaikan oleh karyawan menerusi filemnya.\nContohnya, apresiasi filem ini adalah wadah pengkaryaan berkonsepkan bandar dan menerusinya, penonton serta peneliti memahami setiap jujukan yang diterjemahkan menerusi filem ini. Tambahnya lagi, setiap orang bebas mengapresiasi sesebuah karya filem yang dihasilkan tetapi haruslah meneliti serta menilainya dengan sudut ilmu. Harus difahami oleh orang yang meneliti filem, terdapat simbol, semiotik serta \u201ctatabahasa\u201d sesuatu filem. Bahkan tidak wajar sewenang-wenangya mengkritik sesuatu filem sehingga membunuh nilai yang terdapat dalam sesebuah filem.\nApresiasi filem ini membawa pengembaraan penonton kepada sebuah keluarga pertengahan di tengah-tengah kota kosmopolitan Kuala Lumpur yang mendominasi plot filem ini, iaitu watak \u201cBapak\u201c yang dilakonkan dengan cukup semula jadi dan arif menerusi lakonan Dato\u2019 Rahim Razali.\nBapak yang memiliki lima orang anak berasa bahawa masanya untuk \u201cpergi\u201d sudah tiba. Rentetan itu, dia dapat melihat dua malaikat yang akan menjemputnya \u201cpergi\u201d dan Bapak perlu segera mengumpulkan anak-anaknya dan dia sudah tidak mempunyai banyak masa untuk menyampaikan wasiatnya berkaitan rumah yang akan ditinggalkannya.\nPermulaan filem ini membawa satu tarikan tersendiri apabila frasa \u201cmalaikat lalu\u201d sudah cukup menjadi sebagai tanda filem ini mengungkapkan signifikan yang wujud dalam senario masyarakat, iaitu keadaan yang tiba-tiba senyap sunyi dan hal yang cukup seni di sebaliknya turut berjaya digarap dengan cukup berkesan oleh Zahim sebagai pengarah yang luas pengalaman seninya.\nSama ada mimpi atau fantasi bagi Bapak, \u201cmalaikat lalu\u201d menjadi semiotik yang amat besar dengan seni maknanya dalam filem ini. Akhirnya dalam segala kepayahan dan konflik yang serba kompleks, berjaya juga hati anak-anak dikembalikan kepada Bapak dan siapakah yang akan mewarisi rumah mereka juga akhirnya berjaya diketahui. Mengapa Darwis yang mewarisi rumah mereka dan bukan Husni, Zak, Kalsom atau Zaiton, iaitu anak-anak yang lain juga memiliki analisis yang cukup bersemiotik.\nUsai tayangan dalam slot pertama majlis ini, satu wacana diadakan yang dijayakan oleh empat orang panel dan diterajui oleh Datin Paduka Shuhaimi Baba sebagai moderator.\u00a0Empat orang panel yang masing-masing memahatkan penelitian berkaitan filem ini khususnya dalam menghorizonkan slogan \u201cfilem kita wajah kita\u201d ialah Datuk Zahim AlBakri (pengarah), Harith Baharuddin (Pensyarah UiTM), Zaki Abdul Rahim (Juri FFM ke-32) dan Zarul AlBakri (penerbit).\nTurut hadir dalam majlis apresiasi ini ialah Yang Berhormat (YB) Tuan Haji Saari Sungib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang; Dr. Hasan Hamzah, Pengerusi Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN); Puan Hajah Roziah Md Yunus (Wakil Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka); Encik Hassan Mutalib, karyawan dan pencinta seni filem serta para pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM)." "Usaha Mempromosi Pelancongan Perlis ke Negara Jiran\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSimpang Ampat \u2013 Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis, mencadangkan agar promosi pelancongan negeri Perlis turut diadakan\u00a0 dalam bahasa Thailand bagi menarik minat penduduk negara jiran tersebut dan seterusnya melawati negeri ini.\nPada kesempatan yang sama, baginda menitahkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemilik dan pengusaha lokasi pelancongan, tempat penginapan dan kedai makanan di Perlis yang mempromosikan negeri ini tanpa lelah dan tanpa henti melalui pelbagai medium, terutamanya media sosial.\nDemikian titah baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Pesta Angin Timur Perlis 2023 yang berlangsung selama tiga hari di Kampung Sungai Padang pada petang semalam. Berangkat sama Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis dan puteri kedua baginda Sharifah Farah Adriana Jamalullail. Turut hadir Yang Amat Berhormat Tuan Mohd Shukri Ramli, Menteri Besar Perlis, dan Yang Berhormat Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.\n\u201cPesta Angin Timur Perlis 2023 berjaya meningkatkan usaha kesedaran serta penyertaan masyarakat dalam seni budaya setempat bagi memartabatkan lagi keunikan program tempatan. Penganjuran program seumpama ini juga diharapkan\u00a0 mampu meningkatkan lagi apresiasi seni budaya kepada segenap lapisan masyarakat ke arah Pembentukan Perpaduan Bangsa Malaysia yang harmoni,\u201c titah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.\nProgram tahunan kali ke-11 anjuran Kerajaan Negeri Perlis dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara bersama-sama Majlis Kebudayaan Negeri Perlis ini diyakini dapat mengembalikan nostalgia tradisi kehidupan masyarakat dahulu yang kaya dengan adat dan budaya." "Hari Kraf Kebangsaan 2023 Menjulang Keunikan Produk Tempatan Pelbagai Kaum di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Kraftangan Malaysia sekali lagi menganjurkan program tahunan Hari Kraf Kebangsaan 2023 (HKK 2023) yang merupakan penganjuran kali ke-20 pada tahun ini. HKK 2023 berlangsung dari 1 hingga 13 Mac 2023, bermula jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.\nHKK 2023 mengangkat tema \u201cIni Kraf Malaysia\u201d bagi menyuntik kesedaran dan kecintaan masyarakat serta menambah pengetahuan terhadap produk kraf keluaran tempatan. Manakala \u201cKraf Identiti Malaysia\u201d pula dipilih sebagai konsep HKK 2023 pada tahun ini bagi mengetengahkan penghasilan produk kraf daripada pelbagai kaum.\nPenganjuran HKK 2023 pada kali ini berjaya menghimpunkan seramai lebih 380 orang usahawan dan komuniti kraf dari seluruh Malaysia dengan pelbagai bidang seperti kraf tekstil, kraf hasil rimba, kraf hasil logam, kraf hasil tanah dan aneka kraf bagi aktiviti jualan dan promosi.\nMenteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Yang Berhormat (YB) Dato\u2019 Sri Tiong King Sing berkata, MOTAC menyasarkan peningkatan jualan produk kraf sehingga RM16 juta sepanjang 13 hari program tersebut berlangsung.\n\u201cIndustri kraf terus menunjukkan perkembangan yang positif dalam usaha untuk bangkit semula daripada kesan pascapandemik COVID-19 berdasarkan jualan produk kraf yang meningkat sehingga 44.4 peratus pada tahun 2022 berbanding tahun 2021,\u201d ujar YB Dato\u2019 Sri Tiong King Sing sewaktu berucap dalam Majlis Perasmian HKK 2023.\nBeliau juga berharap agar jualan produk kraf pada tahun ini akan meningkat kepada satu nilai yang lebih besar bagi menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan ekonomi negara selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.\nTambah beliau lagi, MOTAC menerusi Kraftangan Malaysia juga akan memainkan peranan seiring dengan matlamat nasional Malaysia Madani bersandarkan aspek membasmi kemiskinan, penstrukturan semula ekonomi dan memulih serta menjana ekonomi.\n\u201cDalam konteks industri kraf, usaha ini digerakkan dengan membangunkan dan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk menceburi dan mengusahakan kraf sebagai sumber pendapatan utama mahupun sampingan. Di samping itu, usaha ini juga mampu mewujudkan tenaga kerja baharu dan peluang pekerjaan secara inklusif kepada semua golongan dan lapisan masyarakat,\u201d kata YB Dato\u2019 Sri Tiong King Sing.\n\u201cHingga tahun 2022, bilangan tenaga kerja dalam industri kraf adalah seramai 12 108 orang selain dimeriahkan dengan penglibatan seramai 6841 orang komuniti sokongan yang menjadikan populasi industri kraf di Malaysia seramai 25 840 orang,\u201d kongsi YB Dato\u2019 Sri Tiong King Sing.\nIsteri Perdana Menteri, YB Dato\u2019 Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail turut hadir menyampaikan dua anugerah usahawan kraf sempena HKK 2023 di Kompleks Kraf. Dua anugerah tersebut ialah Anugerah Usahawan Kraf Muda yang diberikan kepada Zulhelmy Hamdan daripada Ezryhelmy Enterprise, manakala penerima Anugerah Usahawan Kraf 2023 pula ialah Muhamad Isa Saad daripada KWM Craft.\nAntara tetamu kehormat lain yang hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Datuk Hajah Saraya Arbi.\nYang Amat Berhormat (YAB) Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia turut hadir selepas Majlis Perasmian HKK 2023 dan meluangkan masa selama 30 minit melawat pelbagai reruai bersempena lawatan kerjanya ke HKK 2023 dengan diiringi oleh Puan \u2018Ainu Sham Haji Ramli, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.\nMajlis ini juga disiarkan secara dalam talian menerusi platform Youtube Kraftangan Malaysia https://www.youtube.com/live/x99glS17S3M?feature=share&fbclid=IwAR1-hF9ykBklX6IZCzB176CTnvfbdD-eYrVBFwX1PRzywNzkoR_Ojzbiqag." "Bahasa Melayu Teras Jati Diri Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSERDANG \u2212Konsep jati diri penting sebagai asas dan akhlak bagi pembentukan jati diri individu, masyarakat dan negara. Pembentukan jati diri kebangsaan pula merujuk hak asasi dan menjadi agenda utama sesebuah negara untuk membina identiti tulen yang menjadi teras dan lambang keunggulan sesebuah negara. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menjadi teras dalam pembentukan jati diri negara.\nMenurut YBhg. Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar (Pengerusi Majlis Penasihat Warisan Peradaban Melayu (LBM), merangkap Profesor Universiti Islam Malaysia, rakyat Malaysia mestilah fasih bertutur dalam bahasa Melayu. Hal ini bertepatan dengan konsep jati diri, iaitu yang merujuk ilmu sejarah dan memahami perlembagaan, akta dan undang-undang negara, serta menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara. Selain itu, setiap warga juga perlu menghormati amalan budaya Melayu yang berteraskan warisan dan budaya Melayu serta menghormati nilai murni budaya berbilang bangsa.\nTambahnya lagi, bangsa Eropah menjadi hebat yang akhirnya menjadi satu tamadun yang besar selepas mempelajarai bahasa asing. Dalam konteks Malaysia, semua orang perlu mencintai jati diri mereka dengan mencintai bahasa Melayu. Namun begitu, untuk menjadi bangsa yang teguh jati diri, kita perlu menambah ilmu dalam pelbagai cara dengan mempelajari pelbagai bahasa. Dengan cara itu, bahasa dan budaya negara akan dapat diangkat ke peringkat yang lebih tinggi.\nSelain itu, masyarakat juga perlu mengubah sikap dan perangai mereka yang suka menggunakan bahasa rojak. Masyarakat perlu menguasai bahasa Melayu dengan baik dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai tonggak jati diri negara ini. Setiap warga perlu sayang akan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan, bahasa untuk berkomunikasi dan bahasa ilmu dengan rasa bangga. Sementara itu, bahasa lain seperti bahasa Inggeris, bahasa Arab dan bahasa lain perlu diperkasakan sebagai bahasa antarabangsa.\nSementara itu, menurut YBhg. Prof. Dr. Muhammad Rezal Kamel Ariffin (Pengarah Institut Penyelidikan Matematik [INSPEM] UPM), jati diri melambangkan identiti individu, masyarakat dan negara bangsa yang mempunyai sifat keutuhan yang dibanggakan. Pembinaan negara merupakan konsep asas untuk memastikan negara mengambil peranan yang efektif dalam masyarakat dunia. Setiap rakyat berperanan untuk menggembleng sumber dan meningkatkan produktiviti bagi memastikan kejayaan tanah air. Setiap warganegara juga mempunyai kewajipan patriotik untuk memastikan dirinya berperanan dalam pembangunan negara. Sehubungan dengan itu, gagasan dan cabaran dalam pengukuhan jati diri rakyat Malaysia perlu disekalikan dalam kerangka pembinaan negara.\nMenurutnya lagi, cabaran bahasa lebih kepada cabaran budaya. Bahasa perlulah sesempurna mungkin dalam menyampaikan ilmu. Masyarakat tidak boleh menggunakan bahasa Melayu secara cacamarba atau menggunakan bahasa rojak. Banyak anak muda kini yang menggunakan singkatan perkataan sehingga sukar difahami dan mencemarkan bahasa Melayu seperti dalam perbualan harian, melalui sistem pesanan ringkas atau Whatsapp. Hal ini akan merosakkan keindahan bahasa Melayu dan mereka perlu mengubah kebiasaan ini.\nDemikianlah penerangan menarik yang disampaikan oleh para panel yang terlibat ketika mengupas isu gagasan dan cabaran dalam pengukuhan jati diri rakyat Malaysia. Yang turut hadir ialah Dr. Rahimah Hamdan (Ketua Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM) selaku moderator dalam Forum Gagasan dan Cabaran dalam Pengukuhan Jati Diri Rakyat Malaysia. Forum ini diadakan bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan 2021 Peringkat Universiti Putra Malaysia, yang dianjurkan oleh Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, yang bersiaran secara langsung pada pukul 10.00 pagi tadi menerusi pelantar Zoom Meeting dan FB Live Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM." "Penjenamaan Semula Sabah pada Pameran Pelancongan Terbesar Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBerlin \u2013 Sabah menjenamakan semula slogan pelancongan negeri itu kepada \u201cFeel Sabah, North Borneo\u201d yang dilihat mempunyai sentimental dan sejarah tersendiri dan dilancarkan pada pameran perdagangan pelancongan terbesar dunia, Internationale Tourismus-Borse Berlin (ITB Berlin 2023) dalam usaha memikat orang Barat berkunjung ke Borneo.\nPenjenamaan semula slogan pelancongan negeri itu disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Yang Berhormat (YB) Datuk Christina Liew dalam satu acara pameran perdagangan pelancongan terbesar dunia di Messe Berlin, Jerman.\nIdea slogan \u201cFeel Sabah\u201d ini dicetuskan oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB), manakala idea menggabungkan \u201cNorth Borneo\u201d pula diilhamkan oleh Datuk Christina Liew sendiri yang seterusnya menghasilkan slogan mempromosi Sabah yang baharu kepada \u201cFeel Sabah, North Borneo\u201d.\nMenurut Datuk Christina Liew, pihaknya mahu pelancong antarabangsa mengetahui bahawa Sabah terletak di bahagian utara Kepulauan Borneo dengan harapan dapat menarik lebih ramai pelancong dari Eropah dan negara lain melancong ke Sabah.\n\u201cNama Borneo Utara kedengaran eksotik dan membangkitkan perasaan nostalgia kerinduan kepada destinasi ini dan nama tersebut juga mempunyai kepentingan sejarah kerana Sabah pada masa itu dikenali sebagai Borneo Utara sebelum mencapai kemerdekaan pada tahun 1963,\u201d kata YB Datuk Christina Liew.\nTambah beliau lagi, sebahagian masyarakat tidak pernah mendengar atau mengetahui tentang Sabah meskipun sudah berdekad lamanya mempromosikan slogan \u201cLand Below the Wind\u201d kepada dunia luar, apatah lagi mengetahui kepelbagaian tarikan semula jadi dan hidupan liar ikonik yang terdapat di Sabah.\nYB Datuk Christina Liew turut menyatakan bahawa pihaknya berazam untuk menjenamakan semula destinasi pelancongan ini dengan slogan \u201cFeel Sabah, North Borneo\u201d untuk mewujudkan identiti baharu dalam pasaran pelancongan.\nPihaknya turut merancang untuk meneroka prospek bagi menarik pelancong daripada pasaran pelancongan baharu di Amerika Syarikat, Australia, Jepun dan India menerusi jerayawara pelancongan yang akan dilaksanakan oleh STB.\nSabah merupakan destinasi pelancongan yang penuh dengan keajaiban alam semula jadi yang menakjubkan seperti Gunung Kinabalu, Lembangan Maliau dan Tip of Borneo.\nDi samping itu, delegasi Sabah ke program itu turut disertai Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai; Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Mohd Yusrie Abdullah serta Ketua Pegawai Eksekutif STB, Noredah Othman." "Tan Sri P. Ramlee: Seniman yang Tiada Pengganti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGeorge Town \u2013 Pemergian Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sekitar 50 tahun yang lalu meninggalkan kesan yang cukup besar bukan sahaja kepada dunia seni tanah air, malah turut memberi tempias kepada masyarakat secara keseluruhannya. Walaupun telah meninggalkan dunia buat selama-lamanya, namun karya-karya beliau masih segar dan mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat.\nMenyentuh perihal Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, baru-baru ini menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) telah menampilkan dua tetamu undangan, iaitu Mohamad Shahriman Sahar yang merupakan Pengarah Arkib Negara Malaysia, Cawangan Negeri Pulau Pinang dan Tan Sri Dato\u2019 Seri Dr. Haji Mohd Yussof Latiff yang merupakan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang bagi membicarakan topik \u201cP. Ramlee Sukar Dicari Ganti\u201d yang bertempat di hadapan Rumah Kelahiran P. Ramlee di Pulau Pinang.\nTirai temu bual tersebut dibuka oleh Mohamad Shahriman Sahar dengan menjelaskan secara ringkas berkenaan Rumah Kelahiran P. Ramlee. Menurut beliau, rumah tersebut merupakan tempat kelahiran Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pada 22 Mac 1929.\n\u201cRumah ini telah dibina pada tahun 1926 oleh bapa Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, iaitu Teuku Nyak Puteh Teuku Karim bersama-sama bapa saudara beliau, Rejab Husin. Seterusnya, rumah ini telah dibaik pulih oleh bapa saudara beliau pada tahun 1948. Kemudian, arkib negara telah mengambil inisiatif untuk mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya dipulihara dan dipelihara rumah kelahiran P. Ramlee dan pihak kerajaan telah bersetuju untuk membangunkannya,\u201d kata Mohamad Shahriman.\nSeterusnya, Jawatankuasa Pustaka Peringatan P. Ramlee ditubuhkan yang terdiri daripada jabatan kerajaan, orang ramai dan saudara-mara P. Ramlee. Selepas itu, kerja-kerja pengubahsuaian dan pemuliharaan bangunan telah dilakukan dan siap sepenuhnya pada bulan Oktober 1991 serta dirasmikan pada 13 Disember 1991 oleh Yang Berhormat Dato\u2019 Sabbaruddin Chik selaku Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Pelancongan pada masa itu. Rentetan itu, Rumah Kelahiran P. Ramlee dan Galeri P. Ramlee dibuka kepada orang ramai bermula pada 14 Disember 1991 tanpa dikenakan sebarang caj bayaran.\nKesemua koleksi barangan P. Ramlee dipamerkan di dalam Galeri P. Ramlee. Antara koleksi yang dipamerkan adalah kasut berwarna putih, tarbus, kaca mata hitam, mesin taip, biola, flut dan nota muzik serta sejarah kisah perjalanan hidup Tan Sri P. Ramlee. Selain itu, koleksi barangan P. Ramlee turut dipamerkan di Pustaka Peringatan P. Ramlee, Setapak, Kuala Lumpur.\n\u201cArkib Negara sentiasa mempromosikan hal berkaitan dengan P. Ramlee terutamanya kepada generasi muda menerusi platform media sosial. Di samping menguar-uarkan tentang P. Ramlee di laman Facebook rasmi Arkib Negara Malaysia melalui poster-poster infografik, pihak Arkib Negara Malaysia turut melaksanakan pelbagai program berkenaan P. Ramlee, terutamanya pada tarikh kelahiran dan tarikh pemergian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Kesannya, kita dapat membentuk jalinan bersama-sama pihak sekolah untuk mempromosikan rombongan atau lawatan ke Rumah Kelahiran P. Ramlee,\u201d kongsi Mohamad Shahriman.\nTan Sri Dato\u2019 Seri Dr. Haji Mohd Yussof Latiff pula membuka lembaran bicaranya dengan berkongsi serba sedikit tentang Allahyarham P. Ramlee. Menurut beliau, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee merupakan seorang yang peramah dan mempunyai satu budaya yang cukup hebat.\n\u201cSaya melihat P. Ramlee sebagai seorang yang genius. P. Ramlee merupakan seorang pengarah, penyanyi, pelakon, pelawak, dan sentiasa dikenang hingga ke hari ini. P. Ramlee juga pernah memberitahu kita bahawa dia akan hidup selama seribu tahun. Hal ini bermakna walaupun beliau sudah tiada, namun dirinya tetap akan sentiasa dikenang meskipun masyarakat era ini semakin tidak mengenali beliau secara perseorangan\u201d ujar Tan Sri Dato\u2019 Seri Dr. Haji Mohd Yussof.\nTan Sri Dato\u2019 Seri Dr. Haji Mohd Yussof turut menegaskan bahawa Allahyarham Tan Sri. P. Ramlee mempunyai minat yang besar khususnya dalam memperkayakan budaya Melayu.\n\u201cSebelum Tan Sri P. Ramlee berangkat ke Singapura, saya memperkenalkan kepada beliau permainan sepak raga jaring. P. Ramlee adalah seorang pemain yang hebat dalam permainan sepak raga jaring (sepak takraw) dan beliaulah yang mula-mula memperkenalkan permainan ini di Singapura,\u201d tambah Tan Sri Dato\u2019 Seri Dr. Haji Mohd Yussof.\n\u201cJika kita menonton filem-filem karya Tan Sri P. Ramlee dari aspek jenaka, sejarah dan sebagainya, kita akan dapat melihat bahawa diri beliau merupakan seorang yang cukup hebat. Tidak ada seorang pun yang boleh dibandingkan dengannya pada masa kini,\u201d jelas Tan Sri Dato\u2019 Seri Dr. Haji Mohd Yussof." "Program Galeri UNITI Edisi ke-5 Mempersembahkan Keunikan dan Keistimewaan Etnik Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Program Galeri UNITI yang dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bersama-sama rakan strategik AEON Co. (M) Bhd telah memasuki edisi ke-5 dan kini berlangsung di AEON Alpha Angle, Wangsa Maju, Kuala Lumpur dari 10 hingga 12 Mac 2023.\nProgram ini merupakan inisiatif di bawah Kembara Perpaduan Malaysia MADANI yang menyediakan pelbagai aktiviti silang budaya dengan mempersembahkan keunikan dan keistimewaan etnik yang terdapat di Malaysia.\nProgram Galeri UNITI juga disifatkan sebagai platform terbaik untuk menterjemahkan semangat penyatuan rakyat sekali gus mewujudkan kehidupan masyarakat yang lebih harmoni.\nAntara pengisian utama program ini termasuklah pameran Rumah Kami, Cita rasa Menu Keluarga Malaysia, Persembahan Busana Etnik Keluarga Malaysia, pameran reruai agensi di bawah KPN, galeri Momen UNITI dan aktiviti sukan tradisional. Pengunjung yang hadir ke program tersebut juga berpeluang menyertai pertandingan seperti pertandingan mewarna bagi kanak-kanak dan roda perpaduan selain aktiviti cabutan bertuah.\nMajlis perasmian Program Galeri UNITI disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara, Yang Berhormat (YB) Datuk Aaron Ago Dagang. Beliau turut menyerahkan momento Rakan Strategik kepada Ketua Pegawai Sumber Manusia AEON Co. (M) Bhd, Dr. Kasuma Satria Mat Jadi sewaktu majlis perasmian berlangsung.\nPihak KPN akan meneruskan usaha memperkasa agenda perpaduan dengan sokongan daripada pelbagai pihak termasuklah agensi awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan yang akan terus dipertingkatkan demi membangunkan Malaysia MADANI.\nTerdahulu, pada awal bulan ini, Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang telah melancarkan Program Kembara Perpaduan Malaysia MADANI di Dataran Muzium Negara, Kuala Lumpur. Program ini merupakan satu daripada inisiatif menerusi Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim dalam usaha memperkasakan agenda perpaduan negara dan integrasi nasional di bawah Ikhtiar 11: Menjamin keharmonian dan perpaduan rakyat.\nProgram ini memayungi tiga kluster program yang berpaksikan kepada pencapaian objektif Dasar Perpaduan Negara menerusi penglibatan dan kerjasama semua pihak termasuklah pemimpin, agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Civil Society Organisation (CSO) dan masyarakat secara keseluruhannya.\nTiga kluster utama yang digariskan di bawah Kembara Perpaduan Malaysia MADANI ialah Program Semarak Kenegaraan, Program Semarak Perpaduan dan Program Komuniti Rahmah.\nTurut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha KPN, Dr. Kang Tong Hum dan ketua pengarah jabatan dan agensi di bawah KPN serta para pegawai kanan KPN." "Kuih Cang: Keunikan Makanan Tradisi Masyarakat Cina\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSetiap kali berkunjung ke Pasar Besar Melaka, penulis akan singgah di gerai kuih yang menjual pelbagai jenis kuih sama ada kuih tradisional atau kuih moden. Kuih cang menjadi pilihan utama penulis untuk dibeli. Apabila menyebut kuih cang, ada segelintir dalam masyarakat kita yang tidak mengenali kuih tradisional kaum Cina ini.\nKuih cang berasal dari negara China dan berbentuk unik, iaitu segi tiga. Selain itu, kuih cang turut mempunyai sejarah dan falsafah yang menarik. Menurut cerita turun-temurun, kuih cang mengandungi empat sudut yang membawa pengertian mendalam, iaitu mencukupi (zhi zu), mensyukuri (gan en), pemikiran positif (shan jie) dan memaafkan (bao rong).\nMenurut Kamus Dewan Edisi Keempat, cang ialah sejenis kuih berupa nasi yang dibungkus dengan daun buluh. Manakala menurut versi lain pula, kuih cang dihasilkan dengan menggunakan beras pulut. Kuih cang turut dikenali sebagai bakcang, sticky rice dumpling, Hokkien bak chang, bak zhang, rouzong, zhongzi, machang dan lain-lain. Dari segi bahasa, perkataan \u201cbak\u201d membawa maksud daging. Kuih tradisi ini disediakan oleh kaum Cina, Nyonya dan Tionghua pada setiap tahun mengikut kalendar lunar Cina. Selain Tahun Baru Cina dan Pesta Kek Bulan, kaum Cina akan turut menyambut perayaan Duan Wu atau lebih dikenali sebagai Pesta Perahu Naga dan Pesta Dumpling pada setiap tahun.\nMenurut kisah turun-temurun, kuih cang dihasilkan bagi mengenang dan memperingati jasa dan sumbangan seorang menteri dalam menghasilkan puisi klasik, iaitu Qu Yuan. Tragedi beliau hilang di dalam sungai telah menggemparkan seluruh masyarakat pada masa itu. Lantas masyarakat menyediakan bakchang dan beramai-ramai berusaha mencari mayat menteri itu dengan mendayung perahu sambil mencampakkan bakchang ke dalam sungai supaya ikan dan haiwan lain tidak memakan jasad menteri itu. Ekoran daripada peristiwa itu, maka wujudlah perayaan besar kaum Cina yang digelar Pesta Perahu Naga atau Hari Bakchang.\nPenyediaan kuih cang boleh dikatakan rumit dan menggunakan ramuan tertentu. Proses pertama pembuatan kuih cang ialah melembutkan daun buluh kering dengan cara merebus atau direndam semalaman. Selepas itu, beras pulut direndam dalam tempoh beberapa jam dan dicuci. Proses kedua pula berkaitan inti kuih cang yang terbahagi kepada ramuan yang manis, pedas, berempah dan tanpa inti. Proses membuat inti mengikut cita rasa dan kesesuaian individu. Daun buluh tadi akan dibentuk menjadi seperti kon dan dimasukkan beras pulut yang telah digoreng mengikut sukatan 1/2. Kemudian, dimasukkan pula inti dan ditambah semula dengan beras pulut sehingga penuh. Selepas itu, proses membungkus dan diikat rapi sebelum direbus selama beberapa jam. Proses akhir pula ialah mengangkat dan menggantung kuih cang tersebut.\nDi Malaysia, ada masyarakat Melayu yang menjadikan kuih cang sebagai antara juadah dan hidangan kepada tetamu atau kaum keluarga. Kini, kuih cang halal boleh dibuat sendiri atau dibeli. Ada juga kuih cang yang tidak mempunyai inti dan dikenali sebagai \u201ckee chang\u201d. Kuih cang kosong enak dimakan bersama dengan gula pasir atau gula merah yang telah dicairkan. Pada awal era 80-an, tetamu yang datang merewang di kampung penulis di Melaka akan dijamu dengan kuih cang sebelum majlis kenduri kahwin berlangsung. Kuih cang akan dipotong nipis dan dihidangkan dengan air teh.\nPengalaman yang menarik ketika mahu makan kuih cang ialah perlu memotong tali bungkusan kuih cang yang diikat ketat. Mereka yang pertama kali mencuba makan kuih cang kosong mungkin akan berasa tidak enak kerana rasanya yang tawar, sedikit pahit dan melekit. Manakala kuih cang versi manis dan pedas pula mengandungi isi buah berangan, gula, kekacang, cendawan, telur masin, rendang, sambal udang kering dan sebagainya yang lebih berperisa serta enak ketika dinikmati.\nKuih cang versi Baba dan Nyonya pula menggunakan bunga telang di samping menonjolkan warna kebiru-biruan yang menarik. Selain itu, kuih cang versi Baba dan Nyonya juga berbau wangi dan berasa sedikit manis kerana menggunakan hirisan tembikai Cina, daun pandan dan ayam berempah.\nAntara keistimewaan kuih cang ialah boleh disimpan lama hingga beberapa hari mengikut kaedah penyimpanannya. Jika kuih cang disejukbekukan, maka kualiti kuih cang tersebut boleh bertahan hingga lebih daripada sebulan dan hanya perlu dipanaskan semula apabila mahu dimakan atau dihidangkan kepada para tetamu.\nSelain mempunyai banyak versi dan bersifat global, kini kuih cang halal mudah diperoleh sama ada dibeli secara dalam talian atau di kedai makanan. Di Pasar Besar Melaka, sebiji kuih cang kosong dijual dengan harga RM0.70 sen dan sangat laris dijual. Kuih cang bukan sahaja merupakan tradisi dan budaya orang Cina, namun kuih cang turut menjadi sebahagian daripada memori indah penulis pada masa lalu. Kuih cang menyatukan bangsa, keluarga dan masyarakat dunia." "Pesta Cita Rasa Sambal (TOSFE) Menonjolkan Keunikan dan Kepelbagaian Sambal\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Persatuan Seni Warisan Artistik Digital (PSWAD) dengan kerjasama KL Gateway serta sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menganjurkan Pesta Cita Rasa Sambal (TOSFE) dari 10 hingga 12 Mac 2023. Pesta yang berlangsung selama tiga hari ini bertujuan untuk menonjolkan keunikan dan kepelbagaian sambal yang terdapat di Malaysia.\nTimbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Yang Berhormat (YB) Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, pihak MOTAC menyambut baik program TOSFE yang merupakan langkah aktif dan bersifat interaktif dalam mengembalikan martabat warisan bangsa dan disegarkan untuk lebih dihargai oleh generasi pelapis.\nTambah beliau lagi, inisiatif penganjuran program ini juga sejajar dengan objektif MOTAC untuk mempromosikan keunikan seni, budaya dan warisan Malaysia serta produk pelancongan sebagai pemangkin utama pertumbuhan sektor pelancongan dan kebudayaan negara.\n\u201cMOTAC juga kekal dengan visi untuk terus meneroka dan mengekalkan khazanah warisan bangsa ke arah pembentukan identiti dan jati diri di samping mampu memberi pulangan ekonomi yang menyakinkan,\u201d ujar YB Tuan Khairul Firdaus ketika berucap merasmikan TOSFE pada 11 Mac lalu.\nJelas beliau lagi, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk terus memperkenalkan produk sambal Malaysia kepada pihak luar, khususnya para pelancong. Manakala dalam konteks warisan budaya, beliau juga berbangga kerana sambal telah diiktiraf dan tersenarai dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).\n\u201cAntaranya sambal yang telah diiktiraf termasuklah sambal tumis pada tahun 2012, sambal tempoyak daun kayu (2012), sambal rong (2012), sambal goreng (2012), sambal biji getah (2012), sambal hitam ikan bilis (2018) dan sambal (2018),\u201d kata YB Tuan Khairul Firdaus.\nMenurut YB Tuan Khairul Firdaus, pihak kerajaan menerusi MOTAC sentiasa memberi ruang dan peluang melalui bantuan serta sokongan kepada pelbagai pihak yang menggerakkan aktiviti yang berkaitan seni, budaya dan warisan seperti ini.\n\u201cPertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh memainkan peranan yang penting melalui aktiviti atau program yang dapat menggalakkan pembangunan industri pelancongan, seni dan budaya tempatan serta langkah proaktif daripada pengusaha sambal di Malaysia kerana berupaya memperoleh pendapatan luar biasa kepada pengusaha, malah menyumbang serta menjana ekonomi negara dalam sektor kulinari,\u201d kata YB Tuan Khairul Firdaus.\n\u201cJusteru, saya melihat inisiatif Persatuan Seri Warisan Artistik Digital Malaysia bersama dengan rakan-rakan strategik memperkenalkan dan mempromosikan pelbagai jenis produk sambal merupakan usaha yang amat baik kerana berupaya membantu sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memasarkan produk masing-masing,\u201d kongsi YB Tuan Khairul Firdaus.\nTerdapat pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang tiga hari Pesta Cita Rasa Sambal (TOSFE) berlangsung termasuklah demonstrasi sambal yang mendapat pengiktirafan sebagai Warisan Kebangsaan seperti sambal biji getah, sambal gesek ikan bilis, sambal goreng, sambal rong, sambal tempoyak daun kayu dan lain-lain. Para pengunjung yang hadir juga boleh membeli pelbagai jenis sambal yang ada dijual oleh lebih 50 pengusaha makanan.\nMajlis perasmian dan pelbagai program menarik yang berlangsung semasa program TOSFE ini diadakan turut disiarkan melalui laman Facebook SWA TV Media, https://www.facebook.com/SeniWarisanArtistic.TV/videos/1277496259853424." "Jalur Rempah dan Melayu Tanjong: Sejarah dan Ekspresi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Program Siri Syarahan Melayu Tanjong Malaysiana telah dianjurkan oleh Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM) dengan kerjasama Perpustakaan Hamzah Sendut, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Kumpulan Facebook Ikhwan Jawi Pekan pada 13 Mac 2023 bertempat di Ruang Pameran, Perpustakaan Hamzah Sendut 1, USM.\nSyarahan ini merupakan siri ke-8 yang membawa tajuk Arab Tanjong: Jejak Salasilah dengan panel jemputan ialah Dr. Habsah Abdul Rahman dan moderator pula ialah Profesor Dato\u2019 Dr. Ahmad Murad Merican yang merupakan Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, ISTAC-IIUM.\nDr. Habsah pernah berkhidmat untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan hampir 10 tahun di St. Nicholas Home dan telah menghasilkan bahan bacaan Braille secara elektronik yang bukan sahaja membantu guru Pendidikan Khas, malah melatih mereka untuk memajukan penghasilan buku teks Braille secara elektronik di seluruh Malaysia sejak tahun 1994. Pada sesi kali ini, Dr. Habsah telah berkongsi mengenai kisah Arab Tanjong: Jejak Salasilah yang menjelaskan latar belakang penduduk Arab Tanjong di Pulau Pinang. Pembentangan tersebut telah membawa pendengar kepada salasilah sebuah kabilah di Pulau Pinang.\nSalasilah adalah daftar keluarga atau keturunan dan didefinisikan sebagai cabang ilmu yang berkaitan dengan geneologi. Ilmu geneologi atau ilmu al-Ansab dalam bahasa Arab dan Genealogy dalam bahasa Inggeris merupakan bidang ilmu Arab sejak zaman dahulu. Selain itu, ilmu ini juga merupakan sebuah subjek pengajian wajib di madrasah atau universiti di negara Arab dan merupakan subjek pengajian dalam bidang Kesusasteraan Arab. Salasilah merupakan perkara yang sangat penting bagi bangsa Arab kerana merupakan sebahagian daripada sosiobudaya Arab untuk mengenal asal-usul serta latar belakang orang Arab selain mengenali keturunan dan ahli keluarga serta menjejaki ahli keluarga yang telah berhijrah dan terpisah.\nPada tahun 1799, bangsa Arab menetap di sekitar Tanjong Penaga, George Town, Lebuh Acheh, Armenian dan Campbell kerana kawasan tersebut mempunyai sawah padi dan bandar Melayu. Kawasan tersebut menjadi tumpuan apabila orang Arab datang berdagang kerana terdapat kemudahan rumah inap sebagai penginapan sepanjang tempoh perdagangan mereka. Antara barang perdagangan mereka adalah kopi, lada, rempah ratus, emas, berlian serta batik. Lebuh Acheh juga pernah dikenali sebagai \u201cSerambi Mekah\u201d kerana pernah menjadi lokasi untuk umat Islam bertolak menunaikan haji. Setelah bilangan penduduk semakin meningkat dan orang Arab mula berkahwin dengan gadis Melayu dan beranak pinak, mereka mula berpindah ke kawasan luar bandar kerana kawasan tersebut terhindar daripada hingar bingar bandar Pulau Pinang pada masa itu.\nPenghijrahan ini telah menjadikan pertalian keluarga bagi bangsa Arab semakin renggang dan wujudnya jurang maklumat salasilah bagi sesebuah kabilah. Ketua Kabilah Az-Zubaidi di Tanjong adalah Isa bin Abdul Hafiz Az- Zubaidi (1896-1946). Beliau telah mengembara ke Pulau Pinang bersama sepupunya, Omar bin Salem. Mereka mempelajari tentang emas dan berlian serta menjalankan perniagaan sendiri setelah mahir tentang perdagangan emas dan berlian. Setelah ketua kabilah meninggal dunia, hubungan salasilah terputus kerana tiada yang mengumpulkan semua ahli kabilah. Walau bagaimanapun, Isa Az-Zubaidi masih berhubung dengan ahli keluarga dan adik-beradiknya di Indonesia.\nJejak ahli kabilah bermula apabila ahli Kabilah Az-Zubaidi mula menyemak pertemuan yang berkaitan untuk menentukan pertalian Az-Zubaidi di Tanjung dan Az-Zubaidi di Yaman. Semakan dan pengesahan pertalian keluarga dibuat dengan menentukan Family Tree dan mengumpulkan data ahli keluarga yang datang berziarah dengan digabungkan maklumat tersebut sehingga mendapat pertalian keluarga yang betul. Jenis salasilah bagi bangsa Arab adalah berbeza dengan negara Barat dengan salasilah keluarga ditentukan oleh keluarga bapa dan ibu, manakala bagi negara Arab ditentukan sepenuhnya oleh susur galur daripada keturunan bapa.\nSalasilah Arab direkodkan daripada generasi pertama sehingga generasi ke-8 bersama nama dan umur penulis salasilah pada masa itu. Maklumat tersebut sentiasa dikemas kini kerana kekangan medium komunikasi pada zaman tersebut. Salasilah Az-Zubaidi telah direkodkan oleh generasi pertama ke-13, iaitu Abdullah bin Hassan bin Saeed Az-Zubaidi yang merupakan seorang bekas tentera dan bekas ahli bola sepak United Arab Emirates (UAE) dan Dr. Abdul Hakem Az-Zubaidi yang merupakan seorang penulis dan penyair.\nAntara inisiatif untuk menyediakan salasilah keluarga adalah dengan mendapatkan maklumat keluarga terdekat serta kisah keluarga dalam lingkungan diaspora. Selain itu, maklumat tersebut boleh disemak dengan salasilah sedia ada oleh mana-mana keluarga terdekat dan membandingkan fakta bagi menjamin kesahihan keturunan. Bagi menjaga maklumat tersebut, ia perlu sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa kerana pertambahan dan kematian ahli keluarga dapat memberi kesan kepada salasilah yang dibuat. Tambahan lagi, maklumat yang diperoleh dalam majlis ziarah dan pertemuan keluarga perlu dicatat kerana di situ terdapat cerita yang mungkin tidak dapat diketahui oleh ahli keluarga yang lain. Antara perkara terpenting dalam pertemuan keluarga adalah mengambil dan mengumpul gambar serta merakamkan pertemuan untuk dijadikan kenangan dan rekod bagi keturunan akan datang.\nMedia sosial kini telah berevolusi dan telah banyak memudahkan dan merapatkan lagi perhubungan bemula pada awal tahun 2000. Banyak cabaran yang akan dihadapi dalam mengumpul ahli keluarga dan menentukan salasilah. Antaranya termasuklah generasi kini yang kurang minat terhadap hal tersebut, kematian generasi lama yang banyak mengenali saudara-mara dan kesukaran mengumpulkan ahli keluarga terutamanya yang menetap jauh. Namun begitu, kita sewajarnya mengambil peluang untuk mencari semula susur-galur keturunan melalui perkembangan medium perhubungan yang semakin canggih dan segalanya berada di hujung jari." "Belasungkawa Kartunis Fatah Ngah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKartunis legenda tanah air, Abdul Fatah Ngah atau lebih dikenali dengan nama penanya, Fatah Ngah yang popular dengan karya kartunnya, iaitu Lagak A. Mamud telah kembali ke rahmatullah pada 5 Februari 2023. Fatah Ngah meninggal dunia pada pagi hari Ahad di rumahnya, iaitu Kampung Alor Tembusu, Dungun, Terengganu kerana sakit tua.\nFatah Ngah yang mula melukis pada tahun 1978 untuk majalah Medan Pelajar dan Bambino merupakan antara generasi awal yang mula-mula menyertai majalah Gila-Gila. Sewaktu bersama dengan majalah Gila-Gila, beliau telah menghasilkan satu siri kartun yang menjadi \u201ctrademark\u201d buat dirinya, iaitu Lagak A. Mamud.\nSiri kartun Lagak A. Mamud mengangkat dialek negeri Terengganu sebagai bahasa pertuturan dalam kartunnya di samping watak A. Mahmud yang ranggi dan berfesyen tahun 60-an lengkap berkaca mata hitam dengan gaya rambutnya yang berjambul. Tidak lupa juga motor Vespa yang sentiasa menemani A. Mahmud walau di mana-mana sahaja dia berada.\nKartunis Fatah Ngah berjaya membuktikan bahawa kartun dan komik boleh menjadi alat yang berkuasa untuk mengekalkan warisan dan budaya. Medium ini boleh menyampaikan nilai budaya, tradisi dan kepercayaan dengan cara yang menghiburkan, menarik serta mudah untuk diakses oleh masyarakat yang luas.\nDi samping itu, komik juga boleh menggambarkan peristiwa dan tokoh sejarah serta membantu mengekalkan warisan budaya untuk generasi akan datang. Selain itu, dengan menggambarkan budaya yang pelbagai secara positif, kartun dan komik dapat menggalakkan persefahaman dan toleransi budaya. Justeru, kartun dan komik memainkan peranan yang penting dalam memelihara dan mempromosikan warisan budaya.\nKartun Lagak A. Mamud boleh berfungsi sebagai satu bentuk dokumentasi kehidupan pada era tahun 60-an dan tahun 70-an. Siri kartun ini menggambarkan sikap, fesyen, teknologi dan peristiwa pada masa itu. Menerusi jenaka dan sindiran, pelbagai mesej boleh disampaikan dan merangkumi isu sosial, politik, pendidikan, hiburan dan lain-lain lagi.\nHal ini dikatakan demikian kerana kartun boleh menjadi sumber maklumat sejarah yang penting dengan membantu mengekalkan ingatan, gambaran unik kehidupan dan landskap budaya pada era tahun 60-an dan tahun 70-an untuk generasi akan datang.\nFatah Ngah juga sangat berjaya dalam penghasilan gaya lukisan kartun. Reka bentuk watak kartun yang dihasilkan oleh beliau menjadi sangat unik dan asli. Manakala karya kartun dan komik beliau mempunyai gaya tersendiri yang membezakannya daripada bentuk seni lain. Gaya tersebut terdiri daripada garisan ringkas dan minimalis kepada ilustrasi yang sangat terperinci serta boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti latar belakang pengalaman kartunis serta subjek yang dilukis.\nReka bentuk watak kartun juga penting kerana memainkan peranan utama dalam membentuk personaliti dan daya tarikan watak tersebut. Watak yang dihasilkan kebiasaannya ekspresif, emotif, menggunakan bahasa badan, ekspresi muka dan isyarat visual lain untuk menyampaikan perwatakan dan perasaan.\nElemen keaslian, gaya dan watak kartun yang unik menjadikan siri kartun Lagak A. Mamud begitu menarik dan kekal diingati oleh masyarakat. Gabungan lukisan berkualiti tinggi dengan reka bentuk watak yang cemerlang dapat menghasilkan kartun yang tidak dapat dilupakan dan sentiasa kekal relevan sepanjang zaman.\nBagi generasi muda pula, kita boleh melihat kartun sebagai sumber identiti negara. Kartun boleh menjadi gerbang waktu kepada nilai budaya, tradisi dan sejarah sesebuah negara. Di samping itu, kartun juga membantu dalam mendidik dan berkomunikasi dengan generasi muda tentang warisan budaya, identiti serta jati diri yang pernah dilalui oleh genarasi terdahulu.\nSemoga komik dan karya kartun peninggalan kartunis Fatah Ngah akan dikenang hingga ke akhir zaman dan menjadi sebahagian daripada sejarah negara. Allahyarham Fatah Ngah telah berjaya membuktikan bahawa kartun dan komik bukan sekadar hiburan semata-mata, bahkan merupakan satu khazanah yang menjadi rujukan tentang perjalanan untuk menjadi sebuah negara yang maju.\nJenazah Allahyarham Fatah Ngah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, Dungun, Terengganu. Pada tahun 2015, beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kartunis Malaysia yang disampaikan oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Dato\u2019 Sri Mohammad Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada masa itu." "Penerbitan sebagai Wadah Pemeliharaan Identiti dan Budaya Kaum Melanau\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSibu \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBP Sarawak) telah mengadakan pertemuan dan perbincangan bahan penerbitan dengan Persatuan Melanau Sibu. Perbincangan tersebut dihadiri oleh Pengerusi Persatuan Melanau Sibu, iaitu Tuan Haji Abdul Karim Keparawi, Puan Rabiah Bohari, Tuan Haji Siri Narudin, Puan Saidatul Faiqah Samasu dan Puan Lily Joo daripada Unit Penerbitan DBP Cawangan Sarawak.\nPersatuan Melanau Sibu merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan khusus untuk masyarakat Melanau yang menetap di Sibu. Persatuan ini ditubuhkan bertujuan untuk memperkukuhkan ikatan persaudaraan dalam kalangan kaum Melanau di Sibu dan mempromosikan budaya serta adat istiadat kaum Melanau kepada masyarakat tempatan.\nPerbincangan yang berlangsung selama hampir dua jam itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan dan menjalinkan jaringan kerjasama dalam penerbitan kearifan tempatan kaum Melanau, terutamanya dalam pelbagai aspek tradisi yang mula diancam kepupusan.\nPerbincangan ini membuka ruang kepada Persatuan Melanau Sibu untuk meneruskan usaha memperkasakan keunggulan sesebuah kearifan tempatan yang dimiliki oleh kaum itu. Objektif perbincangan ini adalah untuk menggiatkan penerbitan serta penyebaran buku-buku umum dan ilmiah dalam bidang kearifan tempatan, khusus untuk kaum Melanau di Sarawak.\nMenerusi perbincangan ini, banyak maklumat yang menarik berkaitan kearifan tempatan kaum Melanau telah diutarakan, bahkan kebanyakannya adalah unsur-unsur tradisi yang belum pernah diketengahkan sama ada dalam bentuk visual mahupun dokumentasi. Antaranya ialah makanan tradisional kaum Melanau yang unik dan khusus berdasarkan majlis tertentu, adat istiadat perkahwinan, permainan tradisional, pantang larang dan perubatan tradisional.\nKearifan tempatan ditakrifkan sebagai kefahaman, kemahiran dan falsafah yang dikembangkan oleh komuniti yang mempunyai sejarah panjang menerusi interaksi dengan persekitaran semula jadi mereka sebagai sesuatu yang unik dan khas yang dimiliki oleh sesebuah masyarakat atau kumpulan tertentu pada sesebuah kawasan. Kearifan tempatan merupakan bentuk pemikiran yang tinggi, mendalam serta kreatif terhadap sesuatu amalan dan praktikal yang berlaku dalam masyarakat yang mengandungi nilai-nilai tersirat dan tersurat.\nBagi memastikan hasrat penerbitan ini direalisasikan, pihak DBP Sarawak dan Persatuan Melanau Sibu telah merancang untuk mengadakan Bengkel Perolehan Manuskrip bersama-sama ahli persatuan untuk memberi bimbingan dan panduan khusus dalam penulisan manuskrip." "Galeri Seni dan Budaya WCO Promosi Budaya Tempatan melalui Diorama dan Miniatur\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pembukaan Galeri Seni dan Budaya WCO yang memaparkan kepelbagaian seni budaya melalui pembuatan diorama dan miniatur telah dirasmikan oleh Tan Sri Dato\u2019 Sri Utama Dr. Rais Yatim, Yang di-Pertua Dewan Negara, pada pagi tadi. Galeri yang ditubuhkan pada tahun 2015 itu mendapat pengiktirafan oleh The Malaysia Book of Records sebagai pusat kraf tangan diorama silang budaya yang pertama dalam negara.\nDalam ucapan perasmian, Tan Sri Dato\u2019 Sri Utama Dr. Rais Yatim mengagumi semangat pengasas Galeri Seni dan Budaya WCO, iaitu Foo Loke Kee, yang sanggup mengorbankan masa, tenaga dan wang sendiri demi melahirkan sebuah galeri yang sarat dengan maklumat sejarah pelbagai kaum di Tanah Melayu sejak dari zaman sebelum merdeka.\n\u201cMencari sesuatu \u2018obor\u2019 dalam budaya amat sukar disebabkan oleh pelbagai rintangan yang wujud dalam kehidupan kita. Ramai orang sering menyebut perkataan \u2018warisan\u2019, tetapi mereka hanya memaparkan secara zahir. Budayawan yang bersungguh-sungguh untuk meneliti, memahami dan membuat sesuatu dalam arena budaya amat sukar. Oleh sebab itu, apa-apa yang diusahakan oleh Foo Loke Kee ini dapat dijadikan sebagai \u2018obor\u2019 baharu dan batu loncatan agihan peranan kepada masyarakat kita,\u201c kata Tan Sri Dato\u2019 Sri Utama Dr. Rais Yatim.\nTambah Tan Sri Dato\u2019 Sri Utama Dr. Rais Yatim, beliau banyak bergaul dan mengenali pelbagai lapisan masyarakat, tetapi amat sukar untuk bertemu dengan individu yang sudi menaja dan mengeluarkan wang sendiri dalam mendapatkan hal seni budaya. Maka itu, beliau berharap agar masyarakat dapat bersama-sama mengarahkan pandangan terhadap warisan seni budaya.\nGaleri Seni dan Budaya WCO yang terletak di Kampung Baru Cina, Cheras, ini menghimpunkan pelbagai koleksi diorama budaya tempatan, seperti rumah tradisional, istana lama, dan miniatur seni budaya masyarakat Melayu, Cina, India serta kaum lain yang terdapat di Sabah dan di Sarawak. Galeri ini mendapat sokongan daripada beberapa agensi kerajaan dan swasta, antaranya termasuklah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian, Seni dan Budaya, dan WCO Holdings Sdn. Bhd.\nHadir sama dalam Majlis Perasmian Galeri Seni dan Budaya WCO ialah Tuan Haji Mesran Mohd Yusop, Penasihat Diplomasi Budaya Galeri Seni dan Budaya WCO, Encik Rosnan Nordin, Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) JKKN, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, dan Encik Zhang Jie Xin, Pengarah Pusat Kebudayaan China Kuala Lumpur." "400 Peserta Kembara Motosikal Jayakan Promosi Tapak Geologi Jerai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani \u2013 Sebanyak 400 orang peserta menyertai Program Kembara Bermotosikal dalam usaha mempromosikan tapak warisan geologi negara, Jerai Geopark.\nMereka berpeluang singgah di kaki Gunung Jerai, Pantai Murni Yan, Tapak Arkeologi Sungai Batu Merbok, dan Pantai Merdeka untuk melihat pelbagai keindahan di kawasan persekitarannya.\nDalam program anjuran Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) itu, Pengarah Jabatan Pembangunan dan Pelancongan MPSP, Mohd Amin Ali berkata, banyak perkara sedang dilakukan bagi menarik minat pelancong tempatan dan luar negara melawat ke Jerai Geopark.\nProgram Kembara Bermotosikal merupakan sebuah daripada inisiatif MPSP bagi memberikan pendedahan langsung kepada peserta tempatan akan potensi tinggi melancong ke negeri Kedah dengan kos yang mesra rakyat.\n\u201cPenunggang dan pembonceng motosikal pasti gembira apabila berpeluang menyertai program ini dan mereka diberikan pelbagai kemudahan percuma, termasuk kemeja-T dan minyak motosikal.\n\u201cUsaha yang dilakukan ini berjaya mengeratkan hubungan baik antara penunggang motosikal pelbagai jenama dari beberapa negeri,\u201d katanya.\nHal ini turut disokong oleh peserta kembara, Nazri Abdullah, 37, dari Sungai Petani yang berkata, program promosi begini perlu dilakukan secara meluas bagi menarik pelancong, terutama penduduk tempatan untuk melawat kawasan Jerai Geopark.\nUpacara pelepasan peserta kembara dilakukan oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat di hadapan Menara MPSP.\nUpacara penutupan pula dilakukan oleh Setiausaha MPSP, Noorulhuda Mohammed Ali di Galeri Tsunami Kota Kuala Muda, diikuti dengan cabutan nombor bertuah." "Perubahan Fungsi Kata\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata dalam bahasa Melayu meliputi empat golongan yang utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas. Dalam hal ini, kata nama, kata kerja dan kata adjektif dapat menjadi inti frasa endosentrik, manakala frasa sendi nama merupakan frasa eksosentrik.\nWalaupun penggolongan dan pembahagian golongan kata sudah jelas, ada kalanya terdapat perkataan dalam golongan kata tertentu yang dapat berfungsi seperti anggota golongan kata yang lain.\nAda beberapa patah kata yang tergolong sebagai kata kerja yang dapat berfungsi seperti kata sendi nama. Contohnya, kata kerja melalui dan menerusi dapat berfungsi seperti sendi nama dengan. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a.\u00a0 Dia melalui jalan itu.\n1b.\u00a0 Dia menghubungi kawannya melalui Internet.\n1c.\u00a0 Dia menghubungi kawannya dengan Internet.\n2a.\u00a0 Jarum menerusi kain itu.\n2b.\u00a0 Dia menghubungi kawannya menerusi Internet.\n2c.\u00a0 Dia menghubungi kawannya dengan Internet.\nDalam ayat 1a, kata melalui merupakan kata kerja transitif yang bermaksud \u201cmelintasi dan berlalu di\u201d tetapi dalam ayat 1b, kata kerja melalui berfungsi seperti kata sendi nama dengan (ayat 1c).\nDalam ayat 2a, kata menerusi merupakan kata kerja transitif yang bermaksud \u201cmenembus pada\u201d tetapi dalam ayat 2b, kata kerja menerusi berfungsi seperti kata sendi nama dengan (ayat 2c). Walau bagaimanapun, dalam ayat 1b dan 2b, kata melalui dan menerusi tetap merupakan kata kerja.\nKata kerja mengenai dapat berfungsi seperti kata sendi nama tentang. Namun begitu, kata itu tetap merupakan kata kerja, bukan kata sendi nama. Sila lihat contoh yang berikut:\n3a.\u00a0 Tembakannya mengenai sasaran.\n3b.\u00a0 Dia bercakap mengenai hal itu.\n3c.\u00a0 Dia bercakap tentang hal itu.\nDalam ayat 3a, kata mengenai merupakan kata kerja transitif yang bermaksud \u201ckena pada\u201d tetapi dalam ayat 3b, kata kerja mengenai berfungsi seperti kata sendi nama tentang (ayat 3c).\nKata kerja mengikut dan menurut dapat berfungsi seperti kata sendi nama pada. Namun begitu, kata itu tetap merupakan kata kerja, bukan kata sendi nama. Sila lihat contoh yang berikut:\n4a.\u00a0 Ali mengikut ibunya ke pasar.\n4b.\u00a0 Mengikut pendapat Ali, projek itu mendatangkan faedah.\n4c.\u00a0 Pada pendapat Ali, projek itu mendatangkan faedah.\n5a.\u00a0 Ali menurut kata ibunya.\n5b.\u00a0 Menurut pendapat Ali, projek itu mendatangkan faedah.\n5c.\u00a0 Pada pendapat Ali, projek itu mendatangkan faedah.\nDalam ayat 4a, kata mengikut merupakan kata kerja transitif yang bermaksud \u201cpergi bersama-sama dengan\u201d tetapi dalam ayat 4b, kata kerja mengikut berfungsi seperti kata sendi nama pada (ayat 4c). Dalam ayat 5a, kata menurut merupakan kata kerja transitif yang bermaksud \u201cmematuhi\u201d tetapi dalam ayat 5b, kata kerja menurut berfungsi seperti kata sendi nama pada (ayat 5c).\nKata kerja menjelang, menemui dan menghadap dapat berfungsi seperti kata sendi nama kepada pada alamat surat tak rasmi. Namun begitu, dalam hal sedemikian, kata menjelang, menemui dan menghadap tetap merupakan kata kerja, bukan kata sendi nama. Sila lihat contoh yang berikut:\n6a.\u00a0 Dia menjelang jirannya.\n6b.\u00a0 Dia menemui kawannya di pasar.\n6c.\u00a0 Rumahnya menghadap ke laut.\n7a.\u00a0 Menjelang sahabatku yang kini berada di Ipoh.\n7b.\u00a0 Menemui sahabatku yang kini berada di Ipoh.\n7c. \u00a0Menghadap sahabatku yang kini berada di Ipoh.\n7d.\u00a0 Kepada sahabatku yang kini berada di Ipoh.\n7e.\u00a0 Surat ini kepada sahabatku yang kini berada di Ipoh.\nDalam ayat 6a, kata menjelang merupakan kata kerja yang bermaksud \u201cmengunjungi\u201d. Dalam ayat 6b, kata menemui merupakan kata kerja yang bermaksud \u201cbertemu dengan\u201d. Dalam ayat 6c, kata menghadap merupakan kata kerja yang bermaksud \u201cmenghala\u201d.\nWalau bagaimanapun, dalam ayat 7a, 7b dan 7c, kata kerja menjelang, menemui dan menghadap semuanya berfungsi seperti kata sendi nama kepada (ayat 7d). Hal ini dikatakan demikian kerana sebenarnya dalam ayat 7a, 7b, 7c dan 7d, subjek ayat seperti surat ini telah digugurkan (ayat 7e).\nSelain itu, dalam kelompok ayat 7 di atas, frasa sendi nama ke hadapan juga dapat berfungsi seperti kata sendi nama kepada. Sila lihat contoh yang berikut:\n8a.\u00a0 Ke hadapan sahabatku yang kini berada di Ipoh. 8b.\u00a0 Kepada sahabatku yang kini berada di Ipoh\nAda kata kerja transitif yang dapat berfungsi seperti kata pemeri. Contohnya ialah kata merupakan. Sila lihat contoh yang berikut:\n9a.\u00a0 Pegawai polis itu merupakan diri sebagai tukang sapu.\n9b.\u00a0 Dia merupakan guru.\n9c.\u00a0 Dia ialah guru.\n9d.\u00a0 Dia guru.\nDalam ayat 9a, kata merupakan merupakan kata kerja transitif yang bermaksud \u201cmenukarkan rupa\u201d tetapi dalam ayat 9b, kata kerja merupakan berfungsi seperti kata pemeri ialah (ayat 9c). Hal ini dikatakan demikian kerana kata merupakan boleh digugurkan, sama seperti kata pemeri ialah, tanpa menjejaskan struktur ayat dengan pola Frasa Nama + Frasa Nama (ayat 9d).\nAda kata kerja yang dapat berfungsi seperti kata adjektif, iaitu dapat diiringi oleh kata penguat. Hal ini meliputi kata kerja tak transitif, kata kerja transitif dan kata kerja pasif. Sila lihat contoh yang berikut:\ni. Kata kerja tak transitif\n10a.\u00a0 Dia sangat berilmu.\n10b.\u00a0 Dia sangat terkejut.\n10c.\u00a0 Dia sangat pandai.\nii. Kata kerja transitif\n11a.\u00a0 Perkara itu amat menakutkan (saya).\n11b.\u00a0 Perkara itu amat menakutkan Ali.\n12. Dia sangat memerlukan bantuan.\niii.\u00a0 Kata kerja pasif\n13a.\u00a0 Pantai itu sangat terkenal.\n13b.\u00a0 Pantai itu sangat masyhur.\nDalam ayat 10a dan 10b, kata kerja berilmu dan terkejut dapat didahului oleh kata penguat sangat, sama seperti kata adjektif pandai (ayat 10c).\nDalam ayat 11a dan 11b, kata kerja transitif emotif menakutkan dapat didahului oleh kata penguat seperti amat, sama seperti kata adjektif. Dalam hal ini, objek kata ganti diri orang pertama seperti saya boleh digugurkan.\nDalam ayat 12, kata kerja transitif memerlukan dapat didahului oleh kata penguat seperti sangat. Dalam hal ini, objek seperti bantuan tidak boleh digugurkan.\nDalam ayat 13a, kata kerja pasif terkenal dapat berfungsi seperti kata adjektif masyhur dan didahului oleh kata penguat seperti sangat (ayat 13b). Bagi semua ayat contoh di atas, kata kerja yang dapat berfungsi seperti kata adjektif tetap tergolong sebagai kata kerja, bukannya kata adjektif." "Malam Pengantin Menjulang Karya Bahasa Melayu menerusi Drama Audio\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Majlis Pelancaran dan Sidang Media Drama Audio Malam Pengantin telah berlangsung dengan jayanya pada 21 Mac 2023 (Selasa) pukul 2.30 petang di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka.\nMajlis anjuran SYOK, Astro dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini turut mendapat sokongan daripada Sinar FM, Era FM dan Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd. serta disempurnakan oleh Encik Kenny Ong Chun Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Astro Radio.\nObjektif Majlis Pelancaran dan Sidang Media Drama Audio Malam Pengantin ini dianjurkan adalah untuk mengangkat dan menonjolkan karya bahasa Melayu terbitan DBP ke medium terkini dan seterusnya disebarluaskan kepada masyarakat serta untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang drama audio.\nMenurut YBhg. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP dalam ucapan alu-aluannya, kini DBP berada dalam landasan yang tepat dalam menjalankan satu daripada fungsi terasnya, iaitu penyebaran bahasa dan sastera dengan mengorak langkah dalam pelaksanaan program serta penghasilan produk digital. Dengan bersumberkan kandungan bahan terbitan dalam bidang bahasa dan sastera, SYOK merupakan rakan sinergi strategik yang mempunyai \u201cjiwa dan sejalan\u201d dengan matlamat DBP selain terbukti mempunyai keupayaan dan kepakaran dalam penghasilan produk digital.\n\u201cAudio siar ataupun podcast merupakan penerbitan alternatif dalam bentuk audio yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Menyedari peminat audio siar yang semakin meningkat saban hari dan mempunyai peminat yang tersendiri, SYOK telah mengorak langkah dengan mempelbagaikan jenis penerbitan bahan kandungannya dalam pelbagai kategori termasuklah menggunakan hasil karya-karya daripada DBP. Oleh hal yang demikian, menjadi tanggungjawab DBP untuk bersama-sama bersinergi dengan SYOK bagi menyebarluaskan bahasa dan sastera di samping mengangkat bahan terbitan DBP menerusi platform penyiaran terkini untuk dinikmati oleh masyarakat sama ada di dalam negara mahupun di luar negara,\u201d ujar YBhg. Dr. Hazami Jahari.\nYBhg. Dr. Hazami Jahari turut berkata, hari ini merupakan hari yang amat bertuah kerana satu karya besar daripada insan seni teragung negara, iaitu Datuk Habsah Hassan menerusi karya Malam Pengantin diangkat menjadi projek rintis bagi drama audio. Masyarakat mengenali Datuk Habsah Hassan menerusi keunggulan dan sentuhan magisnya dalam menghasilkan lirik lagu yang malar segar.\nNamun begitu, masih ramai yang tidak maklum bahawa skrip drama radio merupakan lapangan awal bagi diri beliau sewaktu mengasah bakat dalam penulisan kreatif. Karya yang telah berusia 46 tahun kini kembali berkumandang di udara dengan nafas baharu. Inovasi sebegini perlu dalam mengesahkan bahawa karya yang baik dan bermutu tidak bertarikh luput dan kekal hidup dalam kalangan masyarakat.\n\u201cDrama audio Malam Pengantin ini akan menyertai lebih 280 koleksi podcast kami di SYOK yang merangkumi pelbagai genre, topik dan bahasa. Menerusi kerjasama kami dengan DBP, kami memberi peluang kepada para pengkarya tempatan dan bakat-bakat baharu industri seni untuk melebarkan sayap mereka menerusi hiburan digital dan elektronik terutamanya podcast audio,\u201d kata Encik Kenny Ong Chun Eng.\nMenurut Encik Kenny Ong Chun Eng, drama audio Malam Pengantin merupakan adaptasi daripada buku Pulang Gadisku Pulang karya Datuk Hajah Habsah Hassan. Di samping itu, drama audio Malam Pengantin juga merupakan drama audio yang pertama dilengkapi dengan lagu latar yang bertajuk Cinta Tak Mengerti nyanyian Syazwan Shuhaimi. Masyarakat juga boleh mendengar lagu ini menerusi platform Youtube Rocketfuel Entertainment.\nSelain itu, bakat-bakat tempatan juga diketengahkan menerusi drama audio ini dan pihak SYOK berasa teruja mendapat peluang bekerjasama dengan lebih ramai rakan kongsi tempatan dan serantau untuk menonjolkan lebih banyak hiburan dan bakat baharu menerusi platform SYOK.\n\u201cKami komited untuk terus menghasilkan pelbagai kandungan yang menarik dan bermanfaat agar sentiasa kekal relevan di samping untuk menjadikan SYOK sebagai pilihan masyarakat serta untuk mengukuhkan kedudukan kami sebagai destinasi radio, muzik dan podcast yang utama. Oleh hal yang demikian, semua peminat SYOK podcast boleh melayari drama audio Malam Pengantin bermula 29 Mac pada jam 10 pagi menerusi aplikasi dalam laman sesawang SYOK,\u201d jelas Encik Kenny Ong Chun Eng.\nTurut hadir menyerikan majlis ialah Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato\u2019 Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP; Puan Priya Prabakaran, Ketua Kandungan Astro Radio; Datuk Hajah Habsah Hassan, penulis asal skrip drama radio Malam Pengantin serta barisan artis yang menjayakan drama audio Malam Pengantin, iaitu Syainie Shuhaimi, Hafreez Adam, Alyssa Azmi, Rosie Haslinda dan Syazwan Shuhaimi." "MIFFest6: Bront Palarae sebagai Duta MIFFest Kali Keempat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pendaftaran hanya akan dibuka bermula pada April 2023 nanti, tetapi Festival Filem Antarabangsa Malaysia ke-6 (MIFFest6) telah disahkan bakal berlangsung pada 23 hingga 29 Julai 2023 dengan kerjasama BMW Shorties dan MIFFest.\nSidang media MIFFest6 yang diadakan minggu lalu di Parkroyal Collection Kuala Lumpur yang menjadi hotel rasminya, mengumumkan beberapa buah siri aktiviti untuk festival tahun ini termasuklah tema baharu New Take, kerjasama pertama dengan BMW Shorties sebagai salah satu platform pertandingan filem pendek paling dikenali yang telah berlangsung di Malaysia selama 16 tahun serta TikTok Malaysia sebagai rakan kongsi rasmi MIFFest6 di samping kerjasama berterusan dengan Festival Filem Udine Far East (FEFF) di Itali.\nSidang media tersebut turut mengumumkan penampilan semula pelakon handalan Malaysia, Bront Palarae sebagai Duta MIFFest. Justeru, ini adalah kali keempat Bront Palarae dilantik sebagai duta festival berkenaan.\nMenurut Bront Palarae dalam ucapannya, kini Malaysia telah memasuki era pascapandemik COVID-19, maka tiada keperluan yang lebih penting bagi para pembikin filem dan penggiat industri selain daripada lebih bersemangat dan kreatif dalam menggerakkan industri seni negara.\n\u201cSaya sangat berharap agar wabak maut dalam tempoh tiga tahun yang lalu itu tidak membunuh keyakinan para karyawan dalam industri perfileman, sebaliknya sentiasa menantikan detik ini dan bersedia untuk memulakan semula aktiviti seni milik masing-masing,\u201d ujar Bront Palarae.\nMenerusi pengumuman pada MIFFest6, sebagai rakan kerjasama terbaharu setelah bergiat selama 16 tahun dan berjaya menarik lebih 1000 penyertaan filem pendek tempatan, BMW Shorties juga merupakan pertandingan filem pendek yang paling dikenali di Malaysia.\nMenurut pengasas MIFFest, Joanne Goh, kerjasama ini juga merupakan berita baik untuk semua para karyawan dan penggiat industri filem tanah air dalam memanfaatkan platform antarabangsa MIFFest untuk membolehkan generasi muda pembikin filem Malaysia memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada dengan semangat yang jitu.\n\u201cHal ini juga membuka jalan untuk para karyawan dan penggiat industri filem tanah air mencari lebih banyak peluang untuk mempamerkan bakat mereka, menceritakan kisah dan pengalaman masing-masing serta menjadi batu loncatan untuk kerjaya profesional dan kreatif,\u201d kata Joanne Goh.\nPengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser turut berkata bahawa pihaknya mendapat inspirasi daripada tema 2022, iaitu New Take yang menonjolkan gabungan bakat kreatif generasi baharu dengan pengalaman unik daripada kesan wabak itu ke dalam penceritaan mereka.\n\u201cDaya kreatif dan kebolehsuaian mereka menunjukkan kepada kita bahawa inovasi boleh muncul dalam sebarang keadaan dengan potensi besar menunggu untuk dicungkil dalam industri kreatif yang sentiasa berkembang ini,\u201d kata Hans de Visser.\nTambah beliau lagi, tema MIFFest6 ialah Evolve seiring dengan BMW Shorties yang berkembang maju dalam mencabar konvensyen biasa pada era ini dengan pemikir kreatif yang berani terus melangkah masa kini bagi mencapai kejayaan masa depan. Selain itu, pertandingan filem pendek bertemakan Evolve mencabar pencipta filem untuk berkembang dan meningkatkan penceritaan mereka serta mencabar konvensyen biasa dan berfikir ke hadapan untuk mendapatkan pengalaman terbaik, di samping mencipta potensi yang lebih baik.\nPemenang hadiah utama pertandingan tersebut akan menerima Geran Pengeluaran bernilai RM80 000 serta 11 buah hadiah istimewa lain. Selain kerjasama berterusan dengan FEFF di Itali pada tahun lalu, MIFFest6 dan FEFF juga akan mengadakan sesi tayangan khas.\nHasil kerjasama daripada kedua-dua festival filem berkenaan diharapkan dapat terus membawa cetusan baharu kepada budaya filem tanah air menerusi slogan \u201cDari Timur ke Barat\u201d. Selain itu, MIFFest6 juga berperanan membantu meningkatkan mutu dan kualiti filem tempatan supaya lebih ramai orang dari seluruh dunia dapat melihat keunikan serta keindahan Malaysia.\nMIFFest6 bakal berlangsung di LaLaport BBCC dan Majlis Anugerah Global Emas Malaysia atau MGGA akan diadakan pada hari terakhir festival, iaitu di Zepp Kuala Lumpur. Untuk maklumat lanjut mengenai MIFFest6, sila layari miffest.com.my." "Pembinaan Bakat Baharu Lakon Layar dan Seni Lakon Bakal Mewarnai Hab Drama Pentas dan Radio\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJohor Bahru \u2013 Pembinaan bakat dalam bidang lakon layar dan seni lakon merupakan asas penting dalam sesebuah drama termasuklah drama pentas, televisyen dan radio. Drama mampu menjadi medium penyebaran dan pengembangan bahasa Melayu ke peringkat yang lebih luas. Bagi memastikan usaha ini dilaksanakan secara berterusan, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dan Jabatan Penyiaran, Radio Televisyen Malaysia (RTM) Johor berkolaboratif membina bakat baharu dalam pembinaan penulis lakon layar bagi drama radio dan pentas yang dilaksanakan pada 21 dan 22 Mac 2023 di RTM Johor.\nLakon layar ialah cerita yang dipentaskan atau disiarkan merangkumi karangan yang berupa sandiwara, iaitu dialog dan kejadian berlakunya sesuatu peristiwa dalam drama. Seni lakon pula mencakupi lakonan yang dipentaskan dengan dikenali sebagai teater atau drama, dirakamkan seperti filem, telemovie, drama rantaian dan drama radio berserta dengan hasil tulisan yang berbentuk dialog.\nHal ini bersesuaian dengan Pelan Strategik DBP 2021-2025 menerusi inisiatif melaksanakan program penulisan kreatif bagi menjayakan strategi utama, iaitu peningkatan kemahiran penulisan dalam bahasa Melayu. Program ini berjaya melahirkan 20 penulis skrip serta pelakon drama radio dan pentas teater yang baharu yang bakal mewarnai hab teater dan drama radio di Johor.\nObjektif utama program ini ialah untuk memberi pendedahan dalam bidang penulisan lakon layar radio dan pentas seiring dengan kehendak pasaran selain membina wajah baharu dalam industri drama, filem dan teater. Hal ini selaras dengan aspirasi kerajaan dalam mendidik masyarakat untuk menghayati dan menghargai karya sastera dan persuratan kebangsaan.\nPeserta dibimbing tentang asas penulisan drama dengan kaedah, format dan teknik yang betul, menepati kehendak semasa serta keperluan penerbit. Peserta yang berpotensi besar dalam bidang ini akan dibimbing secara berterusan bagi membina jaringan kerjasama dengan RTM sebagai media penyiaran utama dalam menerbitkan drama radio yang berkualiti.\nProgram menggilap bakat lakon layar dan seni lakon ini dikendalikan oleh Encik Othman Ahmad atau lebih dilkenali dengan nama Man Che Kah selaku Setiausaha Majlis Teater Negeri Johor yang juga merupakan jurulatih seni budaya negara dan fasilitator program penghayatan seni budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).\nBeliau yang berpengalaman luas dalam bidang teater dan drama radio memfokuskan tentang apresiasi dan ekspresi seni lakon dalam penganalisian skrip, lontaran vokal dan intonasi, peranan mimik muka serta pemahaman tentang perwatakan dan sinergi dengan pelakon lain. Selain memahami tentang teori penulisan skrip, beliau juga membimbing peserta dengan teknik seni lakon yang berkesan, lenggok bahasa tubuh dan ekspresi wajah yang sesuai dengan watak dan perwatakan.\nPenerbit RTM yang juga wakil rasmi RTM Johor, Puan Wan Noor Wajiha Wan Mustafa menyatakan hasrat untuk menawarkan peluang berlakon dalam drama radio kepada peserta dan mana-mana skrip yang memenuhi kehendak dan keperluan penerbit akan dipertimbangkan untuk disiarkan dalam slot drama radio. Tugasan peserta membina sinopsis dan skrip drama pada hari kedua berjaya melahirkan skrip drama radio dan pentas yang ringkas. Namun begitu, penghasilan naskhah tersebut masih boleh dimurnikan dan dimantapkan lagi jika mahu dipentaskan pada layar yang lebih besar atau disiarkan sebagai drama radio." "Sejarah dan Kearifan Tempatan dalam Warisan Labu Sayong\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMalaysia merupakan negara di Asia Tenggara yang memiliki sejarah dan warisan seni kraf tangan tradisional yang bermutu tinggi. Sejarah seni kraf tangan manusia terawal di Malaysia bermula sejak Zaman Prasejarah. Kemunculan Zaman Neolitik dalam Zaman Prasejarah melambangkan kemajuan teknologi dan corak kehidupan masyarakat yang memiliki kearifan tempatan dalam warisan pembuatan tembikar daripada tanah liat.\nSelain itu, penggunaan tanah liat sebagai bahan asas dalam pembuatan tembikar merupakan sumber alam semula jadi ciptaan Allah SWT seperti yang diceritakan dalam al-Quran menerusi surah ar-Rahman: Ayat 14. Hasilnya, pembuatan labu sayong di Perak hingga kini telah diusahakan di Kampung Bendang Dalam, Sayong, Kuala Kangsar dan Kampung Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak.\nSejarah penemuan tembikar di Perak pada Zaman Prasejarah menurut Siti Zainon Ismail dalam buku Reka Bentuk Kraf Tangan Melayu Tradisi (1986) bermula pada Zaman Paleolitik. Selain itu, penemuan pelbagai jenis tembikar di Gua Badak, Lenggong sebagai warisan Kerajaan Gangga Negara di Perak menandakan permulaan sejarah pembuatan labu sayong di Perak. Di samping itu, penemuan bahan tembikar di Gua Badak digunakan untuk menyimpan air, bekas makanan, bekas minuman dan menyimpan bahan-bahan makanan untuk jangka masa yang panjang. Menurut Shamsu Mohamed dalam The Malay Pottery in Malaysia (2005), sejarah pembuatan tembikar pada Zaman Prasejarah di Perak merupakan seni kraf tangan tertua yang dihasilkan dalam tamadun manusia di samping sejarah penciptaan labu sayong yang melambangkan permulaan sejarah bangsa bertamadun di Perak.\nSejarah labu sayong di Perak bermula dari Zaman Prasejarah hingga zaman pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain sebagai Sultan Perak Ke-15 pada tahun 1752 Masihi hingga tahun 1765 Masihi. Karya agung Misa Melayu menceritakan sejarah labu sayong ketika zaman pemerintahan Sultan Abdul Malik Mansur Syah sebagai Sultan Perak Ke-19 pada tahun 1806 Masihi hingga tahun 1825 Masihi.\nKisah sejarah nama Sayong di Perak berdasarkan kisah seorang tukang kayu mahir yang pergi ke dalam hutan untuk mencari kayu dan membelah kayu serong kepada dua bahagian yang menyebabkan tukang kayu berasa hairan melihat kejadian aneh tersebut buat pertama kali di dalam hutan sehingga memanggil papan kayu tersebut sebagai \u201cPapan Sayong\u201d. Kemudian tempat tersebut dinamakan sebagai \u201cSayong\u201d.\nSelain itu, perkataan \u201csayung\u201d dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) bermaksud serong, rencong, tirus dan menyimpang dari arah yang lurus seperti garis dan potongan papan kayu dalam bentuk menyerong. Secara keseluruhannya, sejarah penduduk Sayong sebagai tukang kayu merupakan penduduk yang dibawa ke Kuala Kangsar oleh Sultan-sultan Perak ketika bersemayam di Hilir Perak.\nKarya agung Misa Melayu hasil karangan Raja Chulan Ibni Raja Abdul Hamid Ibni Yang di-Pertuan Muda Sultan Mansur Syah bergelar Marhum Pulau Juar, Kampung Gajah telah menceritakan sejarah penggunaan labu sayong. Selain itu, karya agung Misa Melayu juga menceritakan kisah Sultan Iskandar Zulkarnain membawa peralatan tembikar labu sayong sebagai bekas minuman dan bersiram ketika berlayar di Sungai Perak dari Istana Pulau Cempaka Sari ke Pulau Tiga. Penggunaan labu sayong dijadikan sebagai tempat menyimpan minuman dan bersiram di Istana Negara Perak atau \u201cAstana Negara\u201d oleh keluarga diraja di Istana Negari Perak dan para pembesar Melayu Perak pada kurun ke-18 Masihi.\nMenurut Encik Othman Satar, pengusaha labu sayong di Kampung Kepala Bendang, warisan labu sayong di Kampung Kepala Bendang diperkenalkan oleh Tuk Kaluk, datuk Encik Othman Satar yang berasal dari Minangkabau, Sumatera Barat pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Malik Mansur Syah pada tahun 1806 Masihi hingga tahun 1825 Masihi. Sehubungan dengan itu, sejarah dan kearifan Tuk Kaluk dalam warisan labu sayong merupakan orang Melayu pertama berketurunan suku Minangkabau yang mencipta tembikar daripada tanah liat pada tahun 810 Masihi.\nSelain itu, Tuk Kaluk juga mempunyai hubungan baik dengan pihak istana. Bahkan, kearifan Tuk Kaluk dalam pembuatan labu sayong, tembikar dan parang telah diwarisi oleh penduduk Kampung Kepala Bendang hingga kini. Sultan Abdul Malik Mansur Syah telah menganugerahkan sebidang tanah kepada Tuk Kaluk hasil kepakarannya dalam pembuatan labu sayong.\nKearifan tempatan orang Melayu di Perak dalam warisan labu sayong telah diwarisi daripada nenek moyang secara turun temurun yang digelar sebagai Nature\u2019s Gentlemen. Hasilnya, kearifan orang Melayu di Perak dalam industri labu sayong kini telah diwarisi oleh Adiguru Kraf dan tokoh industri labu sayong di Kampung Pulau Tiga, Kubang Gajah dan Kampung Kepala Bendang, Sayong.\nPada asasnya, pembuatan labu sayong secara tradisional di Perak menggunakan tangan. Menurut L. Wray dalam artikelnya yang bertajuk The Malayan Pottery of Perak (1903), labu sayong telah dihasilkan di Lenggong, Bukit Gantang, Kampung Pulau Tiga, Kampung Gajah, Kampung Bendang Dalam, Sayong dan Kuala Kangsar. Secara ringkasnya, pembuatan labu sayong secara tradisional di Kampung Bendang Dalam merupakan pembuatan labu sayong yang paling bermutu tinggi di Perak.\nMenurut Siti Zainon Ismail dalam buku Reka Bentuk Kraf Tangan Melayu Tradisi (1986), pembuatan labu sayong secara tradisional di Kampung Kepala Bendang diperkenalkan oleh Puan Nila Hitam yang berusia lebih seratus tahun. Kearifan Puan Nila Hitam dalam pembuatan labu sayong secara tradisional di Kampung Kepala Bendang turut diwarisi oleh cucunya, Puan Hasnah Adnan, pengusaha labu sayong di Kampung Kepala Bendang bersama-sama dua orang saudara perempuannya. Semua koleksi labu sayong yang dihasilkan oleh Puan Nila Hitam telah disimpan di Muzium Perak, Taiping sebelum beliau meninggal dunia pada tahun 1903.\nProses pembuatan labu sayong secara tradisional dan moden telah dihasilkan di Kampung Pulau Tiga, Kampung Gajah dan Kampung Kepala Bendang, Sayong, Kuala Kangsar. Selain itu, proses pembuatan labu sayong secara tradisional dan moden mengambil masa selama enam jam. Terdapat lima cara pembuatan tembikar labu sayong secara tradisional dan moden seperti membentuk, membersih, melurut, menghias dan mengukir. Seterusnya, terdapat juga tiga teknik pembuatan labu sayong secara tradisional dan moden seperti throwing, iaitu teknik lemparan alin, teknik acuan dan teknik sepuh. Manakala teknik pembakaran labu sayong menggunakan tanah Sayong dilakukan dengan suhu api 1000 darjah Celsius. Secara keseluruhannya, teknik pembakaran tanah porselin dilakukan dengan kadar suhu 1250 darjah Celsius menggunakan tanah liat yang mengandungi kandungan mineral yang tinggi, tidak mudah pecah dan berbau.\nPenggunaan buah labu air dalam pembuatan labu sayong sebagai alat untuk mengisi air. Terdapat buah labu air yang berbuah dan berbentuk seperti labu sayong. Hasilnya, nama labu sayong diberikan berdasarkan bentuk buah labu sayong. Selain itu, pokok labu sayong ditanam menggunakan biji benih matang dan keratan dahan yang menjalar di atas tanah. Malah, pokok labu sayong mengeluarkan bunga jantan dan bunga betina seperti pokok labu manis yang membentuk putik buah selepas tiga bulan pokok labu sayong ditanam. Penggunaan labu tua yang dikeringkan menjadi bekas berbentuk labu sayong dan digunakan oleh masyarakat di Sayong untuk menyimpan bekalan air dan minuman.\nKampung Pulau Tiga terletak di tebing sebelah kanan Sungai Perak, iaitu di daerah kecil Kampung Gajah Perak. Selain itu, industri labu sayong di Kampung Pulau Tiga terkenal menerusi industri labu hitam, iaitu black pottery. Hasilnya, industri labu hitam yang diusahakan oleh Allahyarhamah Puan Hajah Hawa Ngah Salam, Adiguru Kraf Tembikar Pulau Tiga tahun 2009 bersama-sama pengusaha labu sayong yang lain telah menjual labu hitam dengan harga yang murah sebagai cenderamata kepada para pelancong tempatan dan luar negara.\nPuan Hajah Hawa Ngah Salam dilahirkan pada 5 Mei 1934. Penglibatan awal beliau dalam pembuatan labu sayong secara tradisional di Perak bermula sewaktu berusia 15 tahun yang bertujuan untuk menambahkan sumber pendapatan keluarga, selain memelihara warisan labu sayong di Perak. Menurut Puan Hajah Hawa Ngah Salam, sejarah industri labu sayong di Kampung Pulau Tiga diperkenalkan oleh para pedagang dari India dan China yang menyusuri perkampungan di tepi Sungai Perak pada awal abad ke-15.\n\u201cWarisan Enam Keturunan\u201d Puan Hajah Hawa Ngah Salam merupakan warisan generasi keenam pengusaha labu sayong secara tradisional di Pulau Tiga. Beliau mewarisi ilmu pembuatan labu sayong secara tradisional di Pulau Tiga daripada ibunya. Kini, anak lelaki beliau, iaitu Shahruddin yang bertugas sebagai pelatih kraf seramik di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Perak (PKKMP) Cawangan Kuala Kangsar mewarisi kearifan dalam warisan pembuatan labu sayong.\nSejarah dan kearifan Puan Hajah Hawa Ngah Salam dalam warisan pembuatan labu sayong Kampung Pulau Tiga diceritakan menerusi artikel bertajuk A Display of Malay Handicraft yang disiarkan dalam akhbar The Star pada tahun 1973. Selain itu, pembuatan labu sayong Pulau Tiga yang dihasilkan oleh Puan Hajah Hawa Ngah Salam dipasarkan ke seluruh Malaysia dan diperkenalkan ke peringkat antarabangsa. Beliau juga pernah mendapat Anugerah Penghargaan WICITRA 1984 daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia sebagai pengiktirafan \u201cPermata Gemilang Kampung Pulau Tiga.\u201d\nKearifan Encik Zulkafly Pandak Bedin sebagai Adiguru Kraf Tangan Labu Sayong di Kampung Kepala Bendang, Sayong pula bermula pada tahun 1979. Warisan industri labu sayong generasi kelima yang diusahakan oleh ibu Encik Zulkafly Pandak Bedin merupakan sumber pendapatan keluarga beliau. Hasilnya, kearifan Encik Zulkafly Pandak Bedin menghasilkan labu air dan labu lepap terserlah setelah bersara sebagai tenaga pengajar di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Perak (PKKMP) Cawangan Kuala Kangsar.\nEncik Mohd Pareb Zamari telah menubuhkan Bengkel Tembikar Moden dan Tradisional Sayong Pottery di Kampung Kepala Bendang, Sayong untuk mengusahakan industri pembuatan labu sayong, labu air dan labu lepap secara tradisional dan moden serta telah berjaya dipasarkan di luar negara. Kearifan Encik Mohd Pareb Zamari dalam pembuatan labu sayong, labu air dan labu lepap diwarisi secara turun-temurun.\nKemahiran Encik Mohd Pareb Zamari menggunakan tanah liat Sayong dalam industri labu sayong, labu air dan labu lepap berjaya membawa beliau menerima tempahan dalam industri perusahaan penapis air di Korea Selatan. Selain itu, penggunaan teknologi moden dalam industri labu sayong, labu air dan labu lepap menunjukkan hasil pengeluaran yang produktif di samping penggunaan tanah liat Sayong tidak perlu dicampurkan dengan bahan mineral lain supaya tahan lebih lama. Manakala kandungan air paip dalam labu sayong bertujuan untuk menyejukkan badan. Secara keseluruhannya, pembuatan labu sayong, labu air dan labu lepap menggunakan tanah porselin dari Jepun yang mempunyai daya ketahanan yang tinggi.\nSejarah dan kearifan tempatan dalam warisan labu sayong melambangkan keunggulan warisan kraf tangan Melayu tradisional yang bermutu tinggi. Hasilnya, sejarah dan kearifan Tuk Kaluk sebagai orang Melayu suku Minangkabau pertama mencipta tembikar labu sayong daripada tanah liat di Perak telah dicatatkan ketika era pemerintahan Sultan Abdul Malik Mansur Syah pada tahun 1806 Masihi hingga tahun 1825 Masihi.\nKini, warisan industri labu sayong di Kampung Pulau Tiga dan Kampung Kepala Bendang terus diusahakan oleh Tuan Zulkafly Pandak Bedin, Tuan Mohd Pareb Zamari dan pengusaha labu sayong yang lain. Kini, jelaslah bahawa keunggulan warisan industri labu sayong di Perak melambangkan ketinggian budaya dan keindahan seni kraf tangan orang Melayu di Perak sejak zaman-berzaman." "Pameran Eksklusif Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee di KLIA\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSepang \u2013 Pameran Eksklusif Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee anjuran bersama-sama Arkib Negara Malaysia (ANM) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam memperkenalkan ikon seni hebat negara dan pelbagai karya peninggalannya kepada pengunjung luar.\nPameran eksklusif tersebut dianjurkan bersempena dengan 50 tahun pemergian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang bertujuan untuk menyebarluaskan maklumat berkaitan ketokohan dan sumbangan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang telah banyak berjasa kepada negara selain merupakan sebahagian daripada peranan Arkib Negara Malaysia dalam melahirkan masyarakat yang mempunyai jati diri yang tinggi serta cintakan sejarah negara.\nMajlis Perasmian Pameran Eksklusif Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee ini disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara, Yang Berhormat (YB) Datuk Aaron Ago Dagang pada 22 Mac 2023.\nMenurut Datuk Aaron Ago Dagang, pameran ini yang merupakan kerjasama pertama antara Arkib Negara Malaysia dengan MAHB pada tahun ini membawa makna yang amat besar dalam usaha memartabatkan ketokohan serta sumbangan Tan Sri P. Ramlee dalam bidang seni dan hiburan di Malaysia.\nYB Datuk Aaron Ago Dagang turut menyatakan bahawa jalinan kerjasama seperti ini amat penting dalam usaha memelihara khazanah warisan negara yang sentiasa disimpan oleh pihak Arkib Negara Malaysia di samping menyeru agar syarikat korporat lain turut bekerjasama menjayakan kerjasama seperti ini.\n\u201cKarya seni peninggalan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee merupakan satu khazanah dan buah fikirannya mengandungi mesej keharmonian, penyatuan, kebersamaan serta saling menghormati antara kaum yang berbilang bangsa,\u201d ujar YB Datuk Aaron Ago Dagang ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pameran Eksklusif Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee.\nTambah beliau lagi, filem-filem yang dihasilkan oleh Tan Sri P. Ramlee mampu menjadi medium untuk mengukuhkan perpaduan antara kaum dan selari dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan sebuah \u201cMasyarakat Madani\u201d yang bersatu padu dan saling hormat-menghormati merangkumi kepelbagaian bangsa, budaya dan agama. Selain itu, semangat perpaduan boleh diterapkan menerusi karya seni sebagaimana yang dihasilkan oleh Tan Sri P. Ramlee.\n\u201cPameran ini juga membolehkan rakyat Malaysia serta para pelancong asing menatap dengan lebih dekat barangan koleksi Tan Sri P. Ramlee serta dapat menambah pengetahuan mereka tentang tokoh hebat ini,\u201d jelas YB Datuk Aaron Ago Dagang.\nOrang ramai dijemput hadir ke Pameran Eksklusif Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee dengan tema \u201cHanya Dikau\u201d yang akan berlangsung selama tiga bulan bermula dari 21 Mac hingga 31 Mei 2023 di Aras 5, Terminal 1 KLIA. Majlis Perasmian Pameran Eksklusif Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee turut disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Arkib Negara Malaysia, https://www.facebook.com/myarkibnegara/videos/164603573118665." "Ngepan Iban Lambang Jati Diri Masyarakat Iban\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKepelbagaian budaya di Malaysia menyemarakkan lagi keunikan negara ini di mata persada dunia. Semestinya adat resam dan budaya setiap kaum di Malaysia perlu dijaga agar kekal utuh dan tidak lekang dek masa. Hal ini bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat, tetapi juga untuk menjaga warisan nenek moyang kaum masing-masing agar dapat diwariskan kepada generasi muda.\nPada kesempatan kali ini, penulis ingin menceritakan tentang keastetikan budaya suatu etnik di negeri Sarawak atau lebih dikenali sebagai Bumi Kenyalang yang memfokuskan kaum wanita etnik tersebut. Keunikan dan keistimewaan Ngepan Iban dalam budaya etnik Iban inilah yang menjadi pencetus idea kepada penulis untuk berkongsi dengan lebih mendalam mengenai perkara tersebut.\nNgepan Iban\nNgepan dalam bahasa Iban merujuk kepada pakaian, manakala Ngepan Iban pula merujuk kepada pakaian masyarakat Iban di Sarawak. Menelusuri keunikan etnik Iban yang bukan sahaja kaya dengan pelbagai warisan budaya yang melibatkan adat perkahwinan, kepercayaan dan adat resam, namun budaya Ngepan Iban terutamanya aksesori Ngepan wanita Iban pasti mencuri tumpuan sesiapa sahaja yang melihatnya.\nPemakaian aksesori mempunyai nilai yang signifikan dalam penata gaya Ngepan wanita Iban. Sebelum penulis mengulas secara terperinci mengenai aksesori-aksesori Ngepan Iban, alangkah baiknya penulis meringkaskan dahulu proses pemakaian busana ini.\nPemakaian Ngepan Iban haruslah bermula dengan memakai \u201cKain Tating\u201d ataupun \u201cKain Kebat\u201d, kemudian disilangkan \u201cSelampai\u201d dan disarungkan \u201cMarik Empang\u201d pada bahagian dada, lalu dipakaikan \u201cRawai\u201d dan bahagian pinggang dililitkan dengan menggunakan \u201cTali Mulong\u201d. \u201cTumpa\u201d (gelang perak) disarungkan pada kedua-dua belah tangan dan lengan. Kemudian rambut perlu disanggul siput supaya \u201cSugu Tinggi\u201d yang dipakaikan pada bahagian kepala tidak jatuh dan ditambah dengan \u201cThucuk Sanggul\u201d untuk menguatkan lagi \u201cSugu Tinggi\u201d. \u201cAntin Pirak\u201d dipakaikan pada kiri dan kanan telinga serta jari akan diselitkan dengan \u201cBuah Pauh\u201d sebagai aksesori tambahan, manakala \u201cGerunchung Kaki\u201d pula dipakai pada bahagian pergelangan kaki.\nKoleksi Perhiasan Ngepan Iban\nMenurut Wan Juliana Emeih Wahed dan Patricia Pawa Pitil (2018), \u201cSugu Tinggi\u201d merupakan perhiasan perak yang dipakai semasa mengenakan Ngepan Iban yang dicucukkan dalam sanggul wanita Iban. Kilauan yang terpancar pada material yang bermotifkan flora ini amat unik apabila terkena sinaran cahaya.\nSelain \u201cSugu Tinggi\u201d, \u201cTuchuk Sanggul\u201d (cucuk sanggul) merupakan material budaya yang penting dalam hiasan kepala wanita Iban. Fungsinya adalah untuk menyokong sanggul rambut apabila mengenakan \u201cSugu Tinggi\u201d yang agak berat agar tidak jatuh dan longgar. Reka bentuknya pula adalah tajam, diperbuat daripada perak dan mempunyai beberapa motif ukiran seperti cucuk sanggul yang digunakan oleh para wanita dari negara China.\nPerhiasan perak yang dipakai pada pinggul wanita Iban sebelum menggunakan \u201cRawai Pirak\u201d pula dikenali sebagai \u201cSementing Ringgit\u201d yang mempunyai keunikan bentuk yang tersendiri, iaitu mempunyai duit syiling yang bercantum rapat dan berjurai ke bawah. Apabila wanita Iban memakainya, maka akan kedengaran bunyi yang gemersik dan berkilauan. Keunikannya semakin menonjol apabila alunan bunyi \u201cSementing Ringgit\u201d dan \u201cKain Tating\u201d menghasilkan bunyi yang senada ibarat \u201cBurung Emping Aling\u201d dan pastinya menarik perhatian orang ramai yang mendengarnya.\nAksesori yang seterusnya pula lebih istimewa kerana pembuatannya bukan hanya daripada perak untuk membentuk gulungan, tetapi juga ditusuk dengan rotan bagi membentuk bulatan yang menyerupai bengkung. Perhiasan yang unik ini ialah \u201cRawai Pirak\u201d yang digunakan pada pinggul wanita bagi memperlihatkan lekuk tubuh apabila menggunakan Ngepan Iban. Pemakaian \u201cRawai Pirak\u201d dalam Ngepan Iban memerlukan kesabaran yang tinggi kerana saiz \u201cRawai Pirak\u201d yang agak ketat menyukarkan pemakainya tidak selesa untuk duduk atau melakukan aktiviti seperti berjalan dan menari.\nMenurut Gregory Kiyai @ Keai dan Noria Tugang (2020), \u201cLampit Pirak\u201d merupakan tali pinggang besar yang diperbuat daripada perak dan merupakan hiasan yang digunakan pada bahagian pinggang selepas memakai \u201cSementing Ringgit\u201d dan \u201cRawai Pirak\u201d. Ciri-ciri utama yang terdapat pada \u201cLampit Pirak\u201d adalah mempunyai ukiran flora pada bahagian dokoh dan di sekelilingnya.\n\u201cTali Mulung\u201d atau dikenali sebagai \u201cTali Ujan\u201d merupakan aksesori tambahan untuk mengindahkan lagi aura dan seri pemakai Ngepan Indu Iban. Ciri-ciri khas \u201cTali Mulung\u201d adalah mempunyai serpihan perak yang halus dan kemudiannya dicantumkan untuk menjadi tali yang panjang. Bentuknya yang halus dan rapuh mengharuskan pemakainya berhati-hati agar tidak memutuskan tali perak yang terdapat pada aksesori \u201cTali Mulung\u201d.\nMenurut Gregory Kiyai @ Keai dan Noria Tugang (2020), \u201cTumpa Bentuk\u201d merujuk kepada gelang tangan yang diperbuat daripada perak. Kebiasaannya, aksesori \u201cTumpa Bentuk\u201d akan dipakai secara bertingkat-tingkat pada seluruh pergelangan tangan sehingga ke paras lengan dan mempunyai pelbagai saiz bermula daripada saiz kecil sehinggalah ke saiz yang besar. Tujuan pemakaian \u201cTumpa Bentuk\u201d dalam Ngepan Iban adalah untuk menghiasi pergelangan tangan pemakainya. \u201cTumpa Bentuk\u201d selalunya dibuat dengan teknik menempa perak dan kemudiannya diukir menggunakan motif flora atau bergaris-garis bagi menambah nilai estetika dalam objek budaya tersebut.\nMenurut Gregory Kiyai @ Keai dan Noria Tugang (2021), \u201cGerunchung Kaki\u201d yang diperbuat daripada perak dan dihiasi dengan loceng akan dipakaikan pada kaki, manakala pemakaian \u201cBuah Pauh\u201d pula sebagai perhiasan tambahan.\nKesimpulannya, aksesori budaya Ngepan Iban amat unik dan istimewa bagi penulis sendiri kerana berpeluang menceritakan secara terperinci untuk menjadi tatapan para pembaca yang mencintai dan sentiasa menginginkan pengetahuan mengenai budaya setiap kaum di Malaysia. Menurut Gregory Kiyai (2021), hubungan antara masyarakat Iban dengan alam telah mengembangkan minda mereka dalam berkreativiti untuk menghasilkan estetika seni terhadap objek yang dicipta bagi menyuntik elemen-elemen keindahan, cantik dan menarik.\nAkhir kata menurut Gregory Kiyai @ Keai dan Noria Tugang (2020), dalam masyarakat Iban mereka menganggap warisan dan pusaka sebagai aspek budaya yang melambangkan identiti dan pengenalan diri. Oleh sebab itu, budaya Ngepan Iban perlu dikekalkan kerana budaya ini merupakan contoh teladan kepada masyarakat Iban agar tidak lupus ditelan zaman." "Bismillahir Rahmanir Rahim Mengembalikan Irama Nasyid Pergendangan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Nasyid merupakan antara genre muzik di negara kita yang mekar dan berakar. Perkembangan pesat teknologi pula kian mengurangkan batas dan sempadan dunia, justeru membuka ruang dakwah yang luas.\nDalam kepelbagaian, kebebasan dan kreativiti industri muzik tanah air, muncul Zawfan, iaitu sebuah kumpulan nasyid yang lahir daripada kerinduan mereka kepada lagu-lagu dakwah yang menggunakan 100 peratus pergendangan, kompang atau alat perkusi gendangan.\nZawfan bermatlamat menghidupkan semula nasyid yang mereka rindui dan hanya dinyanyikan dengan vokal berharmoni diiringi kompang dan pergendangan sahaja. Mereka percaya bahawa lagu dakwah sebegini amat dirindui masyarakat.\n\nSementelah di laman media sosial, Zawfan berjaya menghidupkan sebuah komuniti perindu nasyid yang memiliki keyakinan yang sama seperti mereka. Zawfan yakin kerinduan kepada lagu-lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan nasyid seperti Raihan, Nadamurni dan The Zikr tidak hanya dikongsikan dalam komuniti kecil mereka, tetapi juga dirasai lebih ramai pendengar di luar sana.\nJusteru, membesar dengan lagu-lagu nyanyian Raihan, Nadamurni dan TheZikr, mereka berpendapat nasyid klasik yang disampaikan pada sekitar tahun 80-an dan 90-an amat sederhana, tetapi berjaya dihayati masyarakat.\n\u201cHanya dengan lirik yang jelas, melodi ringkas, nyanyian yang sederhana oleh vokal berharmoni, serta diiringi kompang dan pergendangan sahaja, mereka mampu membawa mesej keagamaan, ketuhanan, kemanusiaan dan kerohanian dengan penyampaian yang sangat menyentuh jiwa masyarakat,\u201d ujar Hafiz Tarmizi, salah seorang anggota Zawfan.\nSetelah muncul dengan lagu tunggal pertama, iaitu Rasul Kita pada tahun 2021, Zawfan menerbitkan lagu tunggal kedua, iaitu Bismillahir Rahmanir Rahim yang meneruskan susunan muzik yang menggunakan 100 peratus perkusi. Melodi dan lirik kedua-dua lagu berkenaan dihasilkan oleh Sirr Muhammad dan Hafiz Tarmizi. Dari sudut perkusi pergendangan, melodi dan lirik kedua-dua lagu adalah hasil daripada susunan pemuzik seperti Zufar Adzahan dan Fadzli Radzi.\nGabungan gubahan dan susunan berserta alunan vokal berharmoni dalam lagu Bismillahir Rahmanir Rahim pasti mengimbau nostalgia pendengar kepada nasyid pada era 90-an. Melodi yang santai, ringkas dan lirik yang jelas serta rangkap korus yang berulang-ulang sememangnya merupakan resipi yang menjadikan lagu ini mudah dinyanyikan oleh setiap lapisan umur masyarakat.\n\u201cDari sudut pandang muzik, lagu ini mengambil pelbagai unsur dan pengaruh merangkumi Nusantara, Timur Tengah, Eropah, Asia dan Amerika Latin yang tidak asing dalam nasyid asal kerana ciri-ciri muzik Islam yang sejagat sifatnya harus mengambil dan memanfaatkan seluruh tradisi kemanusiaan sama ada dari Timur mahupun Barat,\u201d jelas Fadzli Radzi yang juga penyusun muzik.\nMenurut Yasir Tarmizi pula, gabungan beliau selaku penyanyi utama Zawfan dengan bekas penyanyi utama Raihan, iaitu Nazrey Johani adalah kolaborasi suara yang padu dan sangat baik.\n\u201cVokal kami berdua saling melengkapi dan penyampaian yang sederhana berjaya menggamit pendengar mengikuti irama yang asal seperti pada awal kemunculan Raihan dahulu,\u201d jelas Yasir Tarmizi.\nMenurut Nazrey Johani pula, beliau amat berbesar hati apabila dijemput oleh Zawfan untuk menjayakan Bismillahir Rahmanir Rahim. Jelas beliau, keadaan itu \u201cseperti orang mengantuk disorongkan bantal\u201d. Di samping itu, kerinduan kepada nasyid semasa bersama-sama Raihan terubat dengan penampilan beliau dalam Bismillahir Rahmanir Rahim yang menjalani proses rakaman di Hotsound Studio, Lexa Residence, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.\n\u201cSaya mengakui irama nasyid Zawfan sememangnya dirindui ramai kerana merupakan irama nasyid yang asal dan berjaya mengangkat hasil karya tempatan ke mata dunia serta mendapat pengiktirafan paling tinggi dalam industri muzik. Inilah nasyid pada takrifan yang paling asas serta persembahan paling murni dan tulen,\u201d tambah Nazrey Johani.\nPaduan vokal berharmoni Zawfan yang disusun oleh Fadzli Radzi dan Hafiz Tarmizi dalam lagu tunggal kedua mereka ini menggamit kenangan semasa Nazrey Johani bersama-sama Raihan dahulu. Kendatipun tidak lagi menganggotai Raihan, Zawfan sedikit sebanyak dapat mengubati kerinduan tersebut.\nDalam perkembangan terbaharu, sebuah video muzik Bismillahir Rahmanir Rahim yang telah berada pada peringkat suntingan terakhir, bakal dilancarkan dalam laman YouTube Zawfan pada bulan Ramadan ini.\nBismillahir Rahmanir Rahim diterbitkan oleh Zawfan sendiri menerusi Hafiz Tarmizi dengan bantuan Ikhwan, Jeffriezal (CJ), Hanis sebagai jurutera rakaman serta Muhd A. Sani (jurutera adunan dan jurutera utama). Bismillahir Rahmanir Rahim akan diedarkan secara digital oleh Soofi Media dan boleh didapati pada semua platform digital seperti Spotify dan Apple Music serta boleh didengari di IKIM.fm, ZAYAN dan radio-radio tempatan lain di seluruh negara.\nSehubungan dengan itu, Zawfan dan Nazrey Johani berharap agar irama nasyid terus mendapat tempat dalam hati masyarakat yang benar-benar menginginkan hiburan yang mendidik jiwa.\n\u201cSemoga usaha kami ini sedikit sebanyak dapat mengangkat dan menjulang semula irama nasyid yang kini semakin jauh ditinggalkan oleh masyarakat dalam arus perdana,\u201d tegas Zawfan." "Merungkai Punca Warisan Wayang Kulit Semakin Dilupakan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nWayang kulit yang kita kenal merupakan satu seni budaya yang dikategorikan dalam teater tradisional. Wayang kulit merupakan satu aktiviti melahirkan bayangan menggunakan cahaya dalam bentuk patung ke atas kelir yang berada di panggung khas oleh seorang tok dalang.\nPerkara yang perlu dititikberatkan oleh individu sewaktu melaksanakan sesebuah persembahan wayang kulit ialah bentuk dan saiz patung, cara gerakan patung dan iringan muzik yang akan digunakan. Budaya ini juga dilihat sering menggunakan watak-watak bersifat fantasi dan metodologi ketika membina imej bayang. Perkara ini dapat diperhatikan melalui watak dalam cerita Maharaja Wana, iaitu Sri Rama yang dianggap sebagai fantasi.\nBudaya wayang kulit dapat dilihat di pelbagai tempat seperti Malaysia dan Indonesia. Hal ini telah membawa kepada kepelbagaian bentuk wayang kulit mengikut negeri dan negara. Terdapat empat jenis wayang kulit di Malaysia seperti Wayang Siam dan Wayang Melayu dari Kelantan, Wayang Gedek dari Kedah serta Wayang Jawa dari Johor. Keempat-empat wayang kulit ini berada di pelbagai negeri di Malaysia dan mencerminkan kepelbagaian jenis wayang kulit walaupun kesemua wayang kulit tersebut adalah budaya seni yang sama.\nSeni budaya wayang kulit dibawa dari India sewaktu berlaku penyebaran agama Hindu ke negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia dan Indonesia. Pada awalnya, budaya ini sering dipersembahkan dalam upacara agama, namun kini budaya wayang kulit di Malaysia telah bertukar fungsinya kepada alat pendidikan dan penerangan dalam seni budaya tradisional.\nHal ini menunjukkan bahawa wayang kulit tidak lagi berfungsi sebagai wadah hiburan sahaja, bahkan sebagai saluran untuk mendidik masyarakat berkenaan nilai, norma dan kepercayaan. Walaupun perubahan arah budaya ini telah dilakukan, namun budaya ini tidak lagi menjadi perhatian dan ditelan arus zaman kerana faktor-faktor yang akan diterangkan.\nPengharaman wayang kulit yang berlaku di Kelantan telah menyebabkan kemunduran budaya ini di Malaysia. Tindakan pengharaman wayang kulit dilakukan menerusi sekatan pengeluaran permit kepada tok dalang untuk membuat persembahan secara umum seperti persembahan majlis keraian, namun pengecualian sekatan diberikan sekiranya persembahan bagi premis Gelanggang Seni dilakukan. Walau bagaimanapun, golongan tok dalang masih boleh melakukan persembahan wayang kulit di rumah persendirian.\nHal ini menyebabkan penurunan penglibatan tok dalang dalam persembahan wayang kulit. Walaupun terdapat pengecualian bagi pengharaman tersebut, persembahan yang dijalankan tidak boleh menggunakan cerita asal wayang kulit tradisional seperti cerita kitab Mahabharata dan Ramayana. Hal ini kerana cerita sebegini mengandungi unsur agama Hindu kerana asal usulnya dari India dan penyebaran budaya ini selari dengan peluasan agama Hindu. Perkara ini telah menyebabkan wayang kulit tradisional ini semakin dilupakan oleh masyarakat.\nPersembahan wayang kulit yang dibenarkan adalah melibatkan cerita seperti kehidupan harian masyarakat dan pengajaran. Perkara ini telah meninggalkan anggapan bahawa Islam mengharamkan penggunaan figura manusia dan jalan cerita yang bersifat fantasi dalam diri masyarakat sehingga menyebabkan mereka tidak lagi melihat budaya ini sebagai satu seni. Perubahan genre wayang kulit telah menyebabkan masyarakat era ini semakin tidak mengenali wayang kulit tradisional sehingga menyebabkan budaya tersebut hilang ditelan arus perubahan zaman.\nKini wayang kulit tradisional mempunyai signifikan yang kecil sebagai satu bentuk hiburan di kawasan Pantai Barat Malaysia yang telah mengalami urbanisasi berbanding dengan kawasan pedalaman. Hal ini kerana generasi muda tidak lagi berminat untuk menceburi dan melihat persembahan wayang kulit. Perkara ini dapat dilihat menerusi jumlah yang semakin berkurangan dalam penglibatan pengamal, cendekiawan dan pengkaji dalam merungkai budaya ini. Generasi kini tidak mengambil serius berkenaan budaya ini dan mengamalkan sikap tidak ambil tahu tentang kepentingan budaya wayang kulit sehingga menyebabkan kelunturan nilai budaya tersebut di Malaysia.\nHal ini berlaku kerana proses modenisasi yang berlaku secara global menerusi penciptaan teknologi seperti televisyen dan telefon pintar yang menyebabkan generasi kini mempunyai medium hiburan lain. Mereka tidak lagi berminat menonton watak-watak tradisional seperti Seri Rama atau Arjuna, sebaliknya lebih menumpukan perhatian terhadap watak-watak moden dalam drama atau teater muzikal seperti SpongeBob yang kebiasaannya disiarkan di televisyen. Medium modenisasi lebih mudah untuk diakses dan tidak memerlukan generasi muda untuk bergerak ke premis tertentu berbanding persembahan wayang kulit. Hal ini turut menghilangkan minat generasi muda terhadap budaya seni ini.\nKehilangan minat generasi muda dalam mendalami budaya ini turut disebabkan oleh kekurangan dalam pendedahan budaya ini terutamanya di Malaysia. Hal ini berlaku apabila kerajaan Malaysia tidak mengutamakan agenda perkembangan budaya seperti wayang kulit selepas mendapat kemerdekaan pada tahun 1957 apabila kurang usaha serta inisiatif yang dilakukan bagi menyemarakkan kembali budaya tersebut. Hal ini berlaku kerana fokus pembangunan negara ketika itu lebih tertumpu kepada sektor ekonomi dan politik bagi membangunkan semula negara.\nPengabaian terhadap sektor budaya ini sehingga tiada usaha untuk memeliharanya telah mengakibatkan budaya tradisional seperti wayang kulit semakin merudum selepas 20 tahun Malaysia merdeka. Hal ini menyebabkan generasi muda tidak mendapat pendedahan berkenaan budaya kesenian wayang kulit yang membawa kepada penghakisan minat mereka terhadap budaya ini. Justeru, mendatangkan kemunduran terhadap budaya ini kerana kekurangan penyambung legasi budaya ini.\nPemodenan wayang kulit dapat disimpulkan sebagai satu daripada punca kemerosotan wayang kulit. Pemodenan ini berlaku apabila wayang kulit mula dijadikan sebagai animasi dan berlaku perubahan watak serta jalan cerita sewaktu mencipta animasi tersebut. Pemodenan wayang kulit kepada bentuk animasi dilakukan dengan menggunakan ilmu pengetahuan teknologi serta aplikasi yang dapat mencipta watak secara dua dimensi (2D) dan tiga dimensi (3D).\nRentetan itu, pemodenan wayang kulit telah mengakibatkan berlaku penurunan dalam pembinaan patung wayang kulit secara fizikal sehingga menyebabkan kelunturan nilai budaya tradisional. Penumpuan watak yang digunakan tidak lagi melibatkan watak tradisional, sebaliknya watak figura seperti Wok Yoh, Samad dan Said yang dijadikan bahan gurauan dalam animasi serta persembahan wayang kulit. Jalan cerita yang diketengahkan juga lebih tertumpu kepada cerita tentang kehidupan masyarakat yang menyebabkan masyarakat lebih cenderung melihat wayang kulit moden berbanding wayang kulit tradisional.\nPemodenan wayang kulit ini pada dasarnya merupakan satu inisiatif yang dilaksanakan bagi memulihara dan mengekalkan budaya wayang kulit di Malaysia sebagai pendedahan kepada generasi akan datang. Hal ini adalah perkara yang baik, namun penukaran jalan cerita serta watak yang dipaparkan kerana isu pertentangan nilai agama telah menyebabkan kelunturan wayang kulit tradisional. Natijahnya, generasi kini dan generasi akan datang hanya mengetahui wayang kulit dalam bentuk yang moden sahaja.\nIsu ini menjadi kerisauan kepada tok dalang kerana kemungkinan yang muncul berkaitan kelenyapan wayang kulit tradisional di Malaysia terutamanya dalam bentuk persembahan langsung kepada penonton. Kemungkinan yang diperkatakan sudah dapat dilihat kerana kebanyakan anak muda tidak lagi mengetahui berkenaan wayang kulit tradisional yang asal.\nKesimpulannya, budaya wayang kulit semakin ditelan zaman kerana beberapa faktor, iaitu pengharaman persembahan wayang kulit di Kelantan sehingga menyebabkan kesukaran untuk masyarakat melihat persembahan wayang kulit. Selain itu, kemunduran ini juga berlaku kerana kekurangan minat dalam kalangan generasi muda terhadap budaya ini dan perkara ini berlaku kerana kurang pendedahan serta modenisasi global yang berlaku. Seterusnya, pemodenan wayang kulit yang melunturkan ciri-ciri wayang kulit tradisional sehingga menyebabkan masyarakat tidak mengenali jenis wayang kulit lagi. Setiap faktor di atas membawa kepada kelunturan wayang kulit tradisional." "Kepelbagaian Makanan dan Lokasi sebagai Daya Tarikan Pelancongan Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSandakan \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan kempen \u201cPromosi Masakan Perlis @ Sandakan, Sabah\u201d di Hotel Elopura, Sandakan, Sabah, baru-baru ini.\nPemilik Hotel Elopura, YBhg. Datuk Haji Mohd Affendi Datuk Haji Hamdan menyambut baik keberangkatan tiba baginda ke program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bersama-sama hotel berkenaan.\nAntara juadah popular di negeri Perlis yang disediakan khas untuk majlis berbuka puasa oleh Datuk Zull Aznam Haron dan dibantu oleh pasukan cef daripada Hotel Elopura yang beroperasi di Sandakan Harbour Square pada kali ini termasuklah kurma daging Perlis, gulai tulang dengan rebung dan pekasam ikan timah tasoh.\n\u201cSelain menu makanan yang enak itu, terdapat banyak lagi hidangan menarik di Perlis, misalnya laksa Kuala Perlis, pulut mangga harum manis dan pekasam ikan puyu,\u201d titah baginda dalam satu kenyataan daripada YTSP Perlis.\nPada masa yang sama, baginda sangat mengalu-alukan kedatangan orang ramai untuk berkunjung ke negeri Perlis bagi menikmati pelbagai hidangan yang pastinya akan menambat selera para pengunjung yang merasai makanan tersebut.\n\u201cPerlis mempunyai banyak lokasi yang menarik untuk dilawati, misalnya Gua Kelam dan Taman Negeri termasuklah Wang Kelian View Point, Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai Kuala Perlis, Empangan Timah Tasoh, Kangar Street Art, Superfruits Valley dan Ladang Kenaf,\u201d titah baginda yang merangkap Pengerusi YTSP Perlis.\nJelas baginda lagi, kesemua lokasi pelancongan di negeri Perlis ini mempunyai daya tarikannya yang tersendiri dan sudah semestinya akan memberikan pengalaman dan kenangan yang tidak ternilai kepada setiap pengunjung yang mengunjungi negeri berkenaan kelak." "Isu-isu Budaya RRU Perbekalan 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam ucapan perbahasan usul RRU Perbekalan 2023 di Dewan Negara, saya menyentuh beberapa perkara yang berkaitan dengan pembangunan aspek dalaman, khasnya pendidikan, agama, kebudayaan dan perpaduan.\nBeberapa isu khas yang berkaitan dengan bidang kebudayaan yang saya kemukakan ini adalah selaras dengan keanggotaan saya di Dewan Negara mewakili bidang kebudayaan.\u00a0 Antara perkara yang saya cadangkan termasuklah:\n1. Cadangan agar kerajaan menyemak kedudukan kebudayaan sebagai keseluruhan cara hidup dalam jentera pentadbiran kerajaan. Kerajaan perlu memberikan keutamaan kepada kebudayaan dalam kementerian yang berkaitan, bukan di belakang sektor pelancongan. Dahulu pernah ada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKWA) yang menjurus kepada aspek penting tamadun negara. Jika masih dirasakan wajar kebudayaan dan pelancongan berada dalam satu kementerian, dari segi semangat dan epistemologi, nama \u201ckebudayaan\u201c perlu mendahului \u201cpelancongan\u201c sebagai gambaran keseriusan mengangkat kebudayaan sebagai teras tamadun negara.\n2. Disarankan juga penubuhan Pusat Tamadun Melayu di tengah-tengah ibu negara Kuala Lumpur yang mencerminkan tamadun bangsa Melayu sebagai bangsa teras di negara ini yang sejarah dan warisannya bermula belasan hingga puluhan ribu tahun lalu di Pentas Sunda yang kini dikenali sebagai Alam Melayu. Saranan itu pernah juga dikemukakan oleh Tan Sri Rais Yatim, Yang di-Pertua Dewan Negara sebelum ini.\n3. Pengisian Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971 dan sejak tahun 2021 Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) perlu benar-benar terancang dalam program yang merentas semua sektor, melalui kementerian-kementerian lain, khasnya pendidikan, belia, agama dan peranan penting Kementerian Komunikasi dan Digital yang patut menjadi penyalur dan pengisi Dasar Kebudayaan Negara.\n4. Berkaitan dengan pemupukan kebudayaan negara dalam kalangan remaja dan belia, saya sarankan pelaksanaan semula program khidmat negara yang sekali gus bertujuan untuk memperteguh patriotisme dan perpaduan golongan muda sebagai pelapis pemimpin, penjawat awam dan penggerak pembangunan negara dalam sektor lain." "Bahasa Kebangsaan dan Generasi Muda Berpisah Tiada\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2212 Semangat cinta akan bahasa Melayu perlu diterapkan dalam diri generasi muda kerana mereka bakal meneruskan agenda negara dan memulihara warisan bangsa. Menurut YBhg. Prof. Datuk Dr. Harlina Halizah Siraj, Pengasas Akademi DR HAR yang bertindak sebagai moderator, bahasa kebangsaan ialah bahasa yang diguna dan diterima pakai oleh banyak penduduk dalam sesebuah negara yang mempunyai beberapa bahasa dan loghat lain. Bahasa kebangsaan negara ini ialah bahasa Melayu yang merupakan identiti negara ini.\u00a0\nBagi generasi muda pula, mereka ditakrifkan berumur antara 10 tahun hingga 25 tahun (menurut PBB) dan jika di Malaysia, mereka berumur antara 18 tahun hingga 30 tahun. Anak-anak muda perlu menjulang bahasa Melayu walaupun bahasa Melayu dan bahasa Inggeris bersinergi.\nTambahnya lagi, rasa kecintaan terhadap bahasa Melayu perlu ditanam dalam diri generasi muda. Mereka juga perlu menjadikan bahasa Melayu \u201chidup\u201c bersama dengan teknologi yang ada. Bahasa Melayu perlu dipertahankan supaya tidak menjadi bahasa kasar dan kesat yang digunakan untuk memaki hamun manusia lain.\nSelain itu, bahasa Melayu juga bernilai tinggi kerana mempunyai banyak perbendaharan kata. Namun begitu, pada masa ini, bahasa Melayu tidak digunakan secara meluas terutamanya dalam urusan pentadbiran dan perkhidmatan awam dan hal ini sangat tidak wajar. Oleh itu, agensi pentadbiran perlu menggerakkannya dan juga perlu ada kesedaran untuk menggunakan bahasa Melayu ataupun dwibahasa semasa menyampaikan mesej kepada masyarakat.\nSementara itu, YBhg. Datuk Haji Abang Sallehuddin bin Abg. Shokeran, iaitu Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pula berkata, tahap pembacaan pada zaman dahulu berbeza daripada sekarang. Pembacaan bagi bahan bacaan berbahasa Melayu dalam kalangan anak muda kini banyak mendapat cabaran hebat melalui pelbagai permainan dunia digital. Hal ini menyebabkan tahap pembacaan mereka semakin berkurang khususnya dalam bahasa Melayu.\nMenurut beliau, perubahan zaman yang mencabar melibatkan sistem pendidikan seperti pertukaran dasar oleh kerajaan di sekolah juga banyak memberikan kesan terhadap penghayatan pembacaan dalam bahan bacaan berbahasa Melayu dalam kalangan anak muda. Contohnya, pengenalan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan kemudiannya program Dual Language Programme (DLP). Kini sekolah kebangsaan mewajibkan pula mata pelajaran Bahasa Inggeris selain daripada Bahasa Melayu dan juga bahasa elektif yang lain seperti Bahasa Arab, Bahasa Iban dan lain-lain. Begitu juga dengan trend ibu bapa kini yang suka menghantar anak ke sekolah swasta ataupun ke sekolah antarabangsa.\nTambahnya lagi, terdapat tanda yang jelas tentang penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda yang mula \u201cmencair\u201c dan kelihatan tidak penting yang ditambah pula dengan penggunaan gajet tanpa batasan. Hal tersebut menjadikan mereka bersikap individualistik dan agak terkapai-kapai dalam mencari identiti bahasa sendiri.\nNamun begitu, 59 peratus generasi muda merasakan jati diri mereka agak luntur tetapi tahap jati diri terhadap bahasa Melayu sangat tinggi, iaitu 70 peratus. Hal ini menunjukkan bahawa mereka masih lagi mempertahankan jati diri bahasa Melayu kerana ingin dikenali sebagai rakyat Malaysia yang mesti pandai berbahasa Melayu. Rasa bangga dalam diri mereka sebagai rakyat Malaysia yang megah berbahasa Melayu masih ada.\nTambah beliau lagi, DBP mempunyai dana untuk membantu penerbit luar untuk menerbitkan lebih banyak bahan bacaan dalam bahasa Melayu. DBP tidak menganggap penerbit luar sebagai saingan tetapi lebih kepada usaha untuk mengembangkan bahasa Melayu dengan memperbanyak penerbitan bahan bacaan dalam bahasa Melayu. Hal ini bagi memasyarakatkan ilmu untuk memandaikan bangsa Malaysia dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa ekonomi dan bahasa negara.\nHal yang sama turut dipersetujui oleh Dr. Nur Aisyah Zainordin, iaitu Pakar Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM), yang juga Pengasas IMAN Media Group. Menurutnya, faktor pengukuh kecintaan terhadap bahasa Melayu adalah melalui pembacaan bahan bacaan dalam bahasa Melayu. Dari sudut berkomunikasi dan menyampaikan mesej kepada masyarakat, rakyat perlu menggunakan bahasa Melayu. Istilah dalam bahasa Melayu juga perlu diperbanyak. Usaha memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris bermaksud bahasa Melayu dan bahasa Inggeris perlu bersinergi, iaitu\u00a0saling melengkapi dan memerlukan.\nBahasa juga perlu dilihat sebagai medium penyampaian ilmu dan idea kepada masyarakat. Selain itu, bahasa Melayu juga perlu dikorporatkan, dibudayakan dan diintegrasikan dalam bidang penerbitan. Diskusi kebudayaan dalam bahasa Melayu juga perlu diperbanyak kepada golongan muda.\nSementara itu, Encik Kiridaren Jayakumar (CEO The Bibliophile Bookshop) menegaskan bahawa antara strategi yang boleh diketengahkan untuk meningkatkan penghayatan generasi muda terhadap bahasa Melayu adalah dengan banyak menerbitkan bahan bacaan dalam bahasa Melayu.\nSyarikat perniagaan juga perlu ada kesedaran untuk menggunakan bahasa Melayu dalam pengiklanan seperti pada papan iklan. Bahasa Melayu sering tidak dianggap sebagai bahasa ekonomi tetapi masih ada juga syarikat yang menggunakannya sebagai bahasa komersial. Oleh itu, bahasa Melayu perlu diketengahkan dari sudut ekonomi bagi tujuan pengkomersialan.\nSelain itu, karya-karya luar juga perlu banyak diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Begitu juga dengan permainan digital yang boleh diperkenalkan dalam bahasa Melayu supaya semua bangsa boleh belajar bahasa Melayu. Kita perlu membudayakan bahasa kebangsaan sebagai suatu cara hidup bagi golongan muda.\nDemikianlah penerangan menarik yang disampaikan oleh para panel yang terlibat ketika mengupas isu bahasa kebangsaan dan generasi muda dalam menanam rasa kecintaan terhadap negara dalam\u00a0 Wacana Cinta Malaysia EP3: Bahasa Kebangsaan dan Generasi Muda Malaysia, anjuran Akademi DR HAR yang bersiaran secara langsung pada pukul 9:30 malam tadi menerusi Facebook Akademi DR HAR." "Dafen Kembali Hidup sebagai Kampung Seni\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPasaran seni China adalah yang kedua terbesar di dunia dengan jualan yang melonjak sebanyak 35 peratus pada tahun 2021. Justeru, tidak hairanlah apabila Dafen, iaitu sebuah kampung di pinggir bandar Longgang, Shenzhen, Wilayah Guangdong di China pernah disebut sebagai \u201ckampung seni\u201c.\nDi Dafen terdapat kira-kira 8000 pelukis yang menghasilkan lukisan tiruan berdasarkan adi karya seni halus. Sebut sahaja karya Monalisa yang dihasilkan oleh Leonardo da Vinci, Starry Starry Nite (Vincent van Gogh) malah sehingga karya Cezzane atau Monet, semuanya mampu dihasilkan dan dijual dengan harga yang jauh lebih murah. Di samping itu, mereka mampu melukis karya replika itu secara hampir sempurna seperti karya asal.\nPada waktu kemuncak sekitar awal tahun 2000, tiga daripada lima cat air yang dijual di seluruh dunia dihasilkan di kampung berkenaan. Cat air tersebut bukan hanya dijual dalam pasaran tempatan, bahkan hampir di seluruh dunia merentasi Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat.\nWalau bagaimanapun, eksport karya-karya seni itu mula merosot selepas tahun 2008 akibat kesan krisis kewangan global dan China kemudiannya menutup sempadan negara pada tahun 2020 kerana wabak pandemik COVID-19. Susulan itu, ada artis seni yang terpaksa menutup studio mereka.\nNamun sejak China menamatkan polisinya yang berkaitan dengan pandemik COVID-19 pada penghujung tahun 2022, jalan-jalan di Dafen kembali sesak dengan kehadiran para pelancong dari serata dunia. Jika dahulu artis seni di Dafen menjual lukisan replika karya Vincent van Gogh pada kadar \u00a01500 yuan ($220), namun kini mereka turut menjual karya asli sendiri dengan harga 50 000 yuan.\nKunjungan para pelancong ke Dafen juga bukan sekadar untuk membeli lukisan, bahkan ramai yang datang mahu mempelajari teknik melukis. Namun begitu, kebanyakannya mencari salinan adi karya dengan harga yang murah. Misalnya, catan Madonna and Child yang dihasilkan oleh Duccio dijual pada harga serendah 50 yuan sekeping.\nSebaliknya, jika karya yang sama dilukis dengan tangan, maka harganya berlainan dan mampu mencecah sehingga 1500 yuan pula. Sebelum krisis wabak pandemik COVID-19 melanda dunia, Dafen dianggarkan mampu menghasilkan 60 peratus daripada hasil lukisan cat minyak untuk pasaran dunia." "Rangka Manusia Tapak Arkeologi Guar Kepah Bakal Pulang dari Belanda\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama kerajaan negeri Pulau Pinang bakal membawa pulang khazanah warisan negara yang disimpan di negara Belanda, iaitu bahagian-bahagian daripada rangka manusia Tapak Arkeologi Guar Kepah, Seberang Perai, Pulau Pinang.\nMOTAC dalam satu kenyataan berkata, rangka-rangka ini dijangka akan dibawa pulang ke Malaysia pada tahun hadapan untuk disimpan dan dipamerkan di Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah yang sedang dibangunkan.\n\u201cGaleri dan Tapak Arkeologi Guar Kepah bakal menjadi salah satu produk arkeopelancongan utama negara dan diharapkan galeri ini juga akan menjadi produk pelancongan yang mesti dilawati sempena Tahun Melawat Malaysia 2025,\u201d menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MOTAC baru-baru ini.\nDi samping itu, galeri tersebut juga boleh menjadi pusat interpretasi untuk menyampaikan informasi berkaitan salah satu warisan arkeologi Malaysia kepada orang ramai dengan pengembalian rangka-rangka manusia ke tapak asal sewaktu dijumpai selain membuka ruang untuk penyelidikan lanjut ke atas rangka-rangka tersebut dan tapak prasejarah Guar Kepah.\nMOTAC juga memaklumkan bahawa satu majlis simbolik membuka kotak yang mengandungi rangka-rangka manusia berkenaan telah diadakan pada 22 Mac lepas di Kementerian Pelajaran, Kebudayaan dan Sains Belanda, The Hague, Belanda yang dihadiri oleh Duta Besar Malaysia di Belanda, iaitu Datuk Nadzirah Osman serta delegasi kerajaan negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh Yang Berhormat (YB) Profesor Dr. P. Ramasamy Palanisamy, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang.\nDalam majlis tersebut juga turut diadakan penyerahan surat persetujuan kerajaan Belanda untuk mengembalikan bahagian-bahagian rangka tersebut kepada kerajaan Malaysia yang telah disampaikan oleh Gerbert Kunst selaku Pengarah Dasar Antarabangsa, Kementerian Pelajaran, Kebudayaan dan Sains Belanda.\nMenurut MOTAC, pihak kementerian amat kagum dengan kepantasan proses ini dan memuji keputusan yang diambil oleh kerajaan Belanda untuk memulangkan objek yang mempunyai nilai warisan kepada negara asal mengikut syarat dan penilaian yang ditetapkan negara tersebut.\nDiharapkan usaha ini akan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua buah negara terutama dalam bidang seni, budaya dan warisan. Rakaman penghargaan turut diberikan kepada pihak Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Kedutaan Malaysia di Belanda atas segala kerjasama yang diberikan dalam usaha mengembalikan khazanah warisan negara ke tanah air.\nTapak Arkeologi Guar Kepah merupakan tapak arkeologi pertama di Malaysia yang telah dikaji oleh pengkaji Barat sejak tahun 1863 hingga tahun 1936 dan kesemua penemuan arkeologi di tapak tersebut telah dihantar ke luar negara termasuklah 41 rangka manusia yang disimpan di Naturalis Biodiversity NBC, Leiden, Belanda." "KOSISWA UMT Menikmati Iftar di Atas Kapal RV Discovery\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Terengganu \u2013 Koperasi Mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu Berhad (KOSISWA UMT) bersama-sama Ahli Lembaga KOSISWA UMT meraikan majlis sambutan berbuka puasa bersama dengan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT, Profesor Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain.\nTema Iftar On the Deck istimewa dibawakan oleh UMT untuk pengunjung yang ingin mencuba sesuatu kelainan dalam menikmati suasana berbuka puasa. Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati pemandangan yang indah sambil menghirup udara segar di sekitar muara Sungai Terengganu.\nKuala Terengganu merupakan Bandaraya Warisan Pesisir Air dan menjadi bandar pertama di Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang mendapat status bandar raya. Program anjuran kerjasama i-Create dan CRAFs UMT ini bertujuan memberi peluang kepada orang ramai mengenali bagaimana saluran (vessel) penyelidikan UMT berfungsi sebagai satu wadah penggalakan pelancongan pendidikan (edu-tourism).\nSewaktu berada di dalam kapal RV Discovery yang menjadi kebanggaan warga UMT, pengunjung sudah pasti akan dapat melihat keindahan Jambatan Angkat yang telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu pada 14 September 2022 bersempena sambutan ulang tahun ke-60 keputeraan baginda. Jambatan ikonik itu telah memberi impak yang besar dalam pembangunan negeri dan menjadi salah satu produk baharu sektor pelancongan di negeri ini.\nDr. Mohd Shaari Abdul Rahman, Pengerusi KOSISWA UMT berkata, majlis iftar diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan kerjasama antara KOSISWA UMT dengan pengurusan HEPA UMT. Impaknya, KOSISWA UMT telah berjaya melahirkan ramai usahawan pelajar dengan kerjasama Pusat Keusahawanan dan Kerjaya (CEC), HEPA UMT.\n\u201cSokongan dan kerjasama pihak KOSISWA UMT dan HEPA UMT dalam membantu menjayakan agenda pembangunan keusahawanan dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi bertujuan untuk mendidik serta membuka peluang kepada para pelajar untuk melaksanakan aktiviti perniagaan dalam pelbagai sektor. Selain itu, pihak universiti juga telah menyediakan platform infrastruktur dan prasarana seperti kiosk, ruang niaga dan pelbagai peluang latihan termasuklah secara dalam talian\u201d, ujar Dr. Mohd Shaari.\nIftar On the Deck dan Moreh On the Deck merupakan antara promosi istimewa yang hanya ditawarkan pada bulan Ramadan. Para pengunjung sudah pasti akan berasa teruja melihat suasana kerlipan lampu pada waktu malam dengan keindahan pemandangan sambil menikmati hidangan di atas kapal RV Discovery.\nMajlis iftar turut diserikan dengan kehadiran Haji Zukiferee Ibrahim, Pendaftar UMT termasuklah para pengunjung luar yang turut sama memeriahkan majlis iftar dan moreh yang ditawarkan dengan harga yang berpatutan serta pelbagai hidangan yang menarik." "Keindahan Pameran Lukisan Solo Alena Murang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Samarahan \u2013 Alena Ose Murang atau lebih dikenali sebagai Alena Murang merupakan seorang penyanyi, penulis lagu, pemain sape dan artis visual yang menyanyikan lagu dalam bahasa Kelabit dan Kenyah telah berjaya menganjurkan Pameran Lukisan Solo bertajuk Colours of the Highlands bertempat di Galeri Hoan, La Promenade Mall, Kota Samarahan, Sarawak bermula dari 18 Mac hingga 30 April 2023.\nSelain itu, Pameran Colours of the Highlands merupakan sebuah pameran lukisan medium campuran yang menggunakan dakwat, kapur, akrilik, cat air, kanvas, kertas, rakaman audio dan abu di sebuah rumah panjang yang pernah terbakar. Kehebatan Alena Murang menghasilkan koleksi lukisan yang dipamerkan di Pameran Colours of the Highlands menyerlahkan bakat dan minatnya dalam seni lukisan sejak kecil lagi.\nMenurut Alena Murang, walaupun bidang muzik memerlukan penggunaan masa yang banyak, namun apabila terdapat masa lapang dan tidak mengembara untuk membuat persembahan, beliau akan mula berasa rindu untuk melukis. Di samping itu, kemahiran melukis merupakan satu cabang bakat tambahan Alena Murang selain bakat yang terserlah dalam bidang nyanyian. Hasilnya, penglibatan Alena Murang dalam bidang lukisan bertujuan untuk mengembangkan minatnya dalam dunia seni.\nPameran lukisan solo Alena Murang bertemakan Colours of the Highlands menceritakan pelbagai kisah kontemporari suku kaum Kelabit dalam lukisan, lukisan potret dan abstrak yang dihasilkan sejak sedekad lalu. Selain itu, Pameran Colours of the Highlands tercetus hasil daripada pelawaan Galeri Hoan pada tahun 2022 yang berminat untuk mempamerkan 50 koleksi lukisan hasil karya Alena Murang selama 10 tahun. Rentetan itu, Alena Murang bersetuju menerima pelawaan daripada Galeri Hoan untuk mempamerkan 50 koleksi lukisan hasil karya seni ciptaannya kerana faktor kelembapan industri muzik pada awal tahun 2022 ekoran kesan pandemik COVID-19.\nDi samping itu, Alena Murang turut berkongsi kepada pihak media bahawa dirinya tidak pernah berasa letih, bahkan mempunyai limpahan idea dalam setiap penghasilan karya seni di studio peribadinya yang berada di Kuala Lumpur. Lebih membanggakan, Alena Murang menjadikan Vincent van Gogh, seorang pelukis terkenal Belanda sebagai idola dan inspirasi demi menghasilkan lukisan hebat dan menambah baik kemahiran seni lukisan pada masa hadapan.\nKeindahan Pameran Colours of the Highlands menampilkan koleksi lukisan kegemaran Alena Murang, iaitu lukisan Pu\u2019 Ayam yang mengisahkan tentang seorang anak kecil lelaki yang comel dan menarik yang berasal dari Long Banga, Marudi, Timur Laut Sarawak. Bahkan lukisan Pu\u2019Ayam turut dipamerkan dalam Pameran Colours of the Highlands bermula dari 18 Mac hingga 30 April 2023.\nPameran Colours of the Highlands dibuka secara percuma untuk dilawati oleh pencinta seni lukisan, pelancong dan masyarakat tempatan. Sebanyak 50 koleksi lukisan solo Alena Murang dipamerkan dalam Pameran Colours of the Highlands dan dijual bermula dengan harga RM1000 sehingga RM25 000. Dalam pameran ini juga terdapat pameran penghasilan lukisan berdasarkan reka bentuk pusaran lingkungan besar serta seni gambar hitam putih yang diukir pada batu dan kayu yang digunakan oleh masyarakat suku kaum Kelabit pada masa dahulu.\nHarapan Alena Murang agar Pameran Colours of the Highlands dapat memperkenalkan warisan kesenian kontemporari suku kaum Kelabit kepada pencinta karya lukisan, pelancong dan masyarakat tempatan. Lebih membanggakan, ibu Alena Murang menyokong minatnya serta menggalakkannya berkecimpung dalam bidang lukisan sejak pada usia yang muda untuk menghasilkan lakaran dan warna, penghasilan kolaj, menyulam dan melukis.\nTuntasnya, Pameran Colours of the Highlands merupakan hasil pameran lukisan solo koleksi sulung Alena Murang yang menggambarkan pelbagai idea menerusi seni lukisan dan seni hiburan. Hakikatnya, gambaran pelbagai idea menerusi seni lukisan dan seni hiburan sememangnya saling berkaitan dalam dunia fesyen dan muzik.\nMaklumat lanjut berkaitan dengan Pameran Colours of the Highlands boleh didapati menerusi laman web rasmi Galeri Hoan dan laman web rasmi Promenade Mall, iaitu rashoangallery.com dan lapromenademall.com.my." "Dream Theater Kembali ke Kuala Lumpur Selepas Enam Tahun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Para peminat kumpulan muzik terkenal dari Boston, Amerika Syarikat, iaitu Dream Theater bakal dapat menonton persembahannya di Kuala Lumpur dan Singapura pada bulan hadapan. Dalam rangkaian jelajah Top of The World mereka, Kuala Lumpur dan Singapura merupakan antara destinasi yang akan digegarkan. Shiraz Projects dengan bangganya membawakan kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1985 ini ke The Star Theatre, Singapura pada 9 Mei 2023 dan Zepp Kuala Lumpur pada 10 Mei 2023.\nBagi Shiraz Projects, persembahan oleh Dream Theater ini menjadi kebanggaan mereka kerana dapat menjadi sebahagian daripada rangkaian Top of the World yang bermula dari Seoul, Korea kemudian ke beberapa buah negara dan berakhir di Indonesia.\nMenurut Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects, Encik Shirazdeen Karim, pihaknya sebagai penganjur berasa sangat gembira dapat membawakan Top of the World kepada para peminat di Malaysia dan Singapura serta percaya bahawa para peminat Dream Theater telah lama mahu menyaksikan mereka kembali beraksi.\n\nDream Theater menamatkan jelajah UK 2023 mereka pada 21 Februari lalu dan akan memulakan semula jelajah di Seoul pada 26 April 2023. Seterusnya, menuju ke Jepun, iaitu Tokyo, Nagoya dan Osaka sebelum menggegarkan Malaysia, Singapura dan Indonesia. Kemunculan Dream Theater yang dibarisi oleh James La Brie (vokalis), John Petrucci (gitar), John Myung (bass), Jordan Rudess (keyboard) dan Mike Mangini (dram) sentiasa dinanti-nantikan, terutama dalam kalangan peminat muzik rock dan metal.\nDream Theater cukup dikenali dengan ketelitian dalam penghasilan muzik. Gubahan muzik mereka dilihat cukup progresif, kompleks dan padat terutama daripada pemain gitar Petrucci yang juga \u201cpengemudi\u201d mereka. Petrucci adalah antara pemain gitar terhebat dunia dan berada pada kedudukan kedua sebagai Pemain Gitar Metal Terbaik dalam buku The 100 Greatest Metal Guitarists pada tahun 2009.\nAlbum terakhir Dream Theater yang bertajuk A View from the Top of the World telah dilancarkan pada tahun lalu dan merupakan projek pertama yang dirakamkan di studio mereka sendiri, iaitu Dream Theater Headquarters. Dengan judul yang sama, mereka telah beraksi di banyak lokasi untuk bertemu dengan para peminat termasuklah Malaysia dan Singapura.\n\nDream Theater dikhabarkan sedang membuat persediaan untuk penerbitan album studio ke-16 selepas A View from the Top of the World. Dream Theater berjaya memenangi Anugerah Grammy pertama mereka pada tahun 2022 dalam kategori Best Metal Performance bersempena Anugerah Grammy ke-64 menerusi lagu The Alien dalam album A View from the Top of the World.\nDalam satu kenyataan media, album A View from the Top of the World digambarkan sebagai teater impian pada kehalusan muziknya (Dream Theater at its musical finest). Hal ini berikutan dengan perkembangan bunyi yang mereka cipta di samping mengekalkan unsur-unsur baharu dan lama yang sekali gus diminati oleh para peminat mereka di seluruh dunia.\nAlbum yang memuatkan tujuh buah lagu itu juga diangkat sebagai album studio kedua dengan kerjasama InsideOut Music dan Sony Music. A View from the Top of the World diterbitkan oleh Petrucci dan menyaksikan James \u201cJimmy T\u201c Meslin bertugas sebagai jurutera dan produksi serta hasil kerja adunan utama oleh Andy Sneap.\nJusteru, buat para peminat tegar Dream Theater di Malaysia, jangan lupa untuk mendapatkan tiket dengan harga RM700 (VIP), RM398 (Berlian/Berdiri), RM258 (Platinum/Berdiri), RM398 (Emas/Duduk) dan RM258 (Perak/Duduk). Kepada para peminat di Singapura pula, tiket dijual pada harga $168 (Berlian), $148 (Platinum), $128 (Emas), $108 (Perak) dan $88 (Pemandangan Terhad).\nTiket mula dijual pada 3 April 2023, jam 2 petang menerusi laman sesawang www.myticket.asia untuk Kuala Lumpur, manakala www.sistic.com.sg pula untuk konsert di Singapura. Sebarang makluman terkini, sila layari laman sosial Shiraz Projects." "Martabatkan Kebudayaan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam ucapan perbahasan menyokong usul menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, sesi-sesi soal jawab dan ucapan perbahasan RRU Perbekalan 2023 di Dewan Negara, antara isu yang menjadi tumpuan utama saya termasuklah isu kebudayaan. Ucapan perbahasan dan soalan saya kepada kerajaan, khasnya Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkisar pada beberapa isu.\nYang terpenting ialah perhatian kerajaan kepada kebudayaan sebagai satu keseluruhan cara hidup yang ada masanya terpinggir dan kurang diberi perhatian yang sewajarnya. Bukti jelas ialah kurang berjayanya program pengisian Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971. Dasar Kebudayaan Negara 2021 yang dirangka untuk menambah baik DKK mungkin mengalami nasib yang sama dengan DKK jika kerajaan tidak belajar daripada kesilapan masa lalu.\nDi samping itu, penamaan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan secara langsung menunjukkan bagaimana kebudayaan terperosok di belakang sektor pelancongan. Bukti yang terang ialah kecilnya peruntukan bagi dua buah jabatan di bawah sektor kebudayaan, iaitu Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Jabatan Warisan Negara (JWN) yang mungkin dianggap tidak memberikan pulangan kewangan kepada negara. Timbalan Menteri kementerian tersebut mengakui kecilnya peruntukan bagi kedua-dua jabatan itu walaupun berusaha \u201cmemujuk\u201c dengan mengatakan adanya peningkatan peruntukan bagi tahun 2023. Kesilapan kerajaan lalu dalam meletakkan martabat kebudayaan negara sepatutnya dijadikan sempadan ojeh kerajaan baharu pasca-PRU 15 dengan mengubah nama kementerian agar kebudayaan diberi martabat yang hak baginya.\nRasional untuk memberikan nilai ekonomi kepada kebudayaan dan warisan saya hargai tetapi jangan sampai kebudayaan dan warisan yang dianggap dapat dikomersialkan sahaja yang diberi perhatian, sedangkan banyak unsur kebudayaan ketara dan tak ketara yang penting dilestarikan meskipun kurang atau tiada nilai komersialnya. Contohnya, aspek nilai, falsafah, pemikiran, pemuliharaan tapak arkeologi dan geologi tidak berkaitan dengan komersial, kecuali tapak arkeologi dan geologi yang berpotensi dikaitkan dengan pelancongan.\nDalam ucapan perbahasan dan soalan, beberapa kali saya tegaskan keperluan kerajaan menimbangkan pewujudan semula kementerian yang memartabatkan kebudayaan seperti yang pernah wujud pada tahun 1980-an dan 1990-an, iaitu Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKWA) yang dipimpin oleh Tan Sri Dr. Rais Yatim sebagai menterinya. Jika soal biaya menubuhkan kementerian baharu menjadi kekangan, untuk sementara ini masih dapat diterima penyatuan sektor kebudayaan dan pelancongan, tetapi saya sarankan sektor kebudayaan dikehadapankan untuk memenuhi semangat dan hakikat keutamaan kebudayaan berbanding dengan pelancongan.\nDalam pada itu perlu diberi peningkatan peruntukan yang berganda kepada sektor kebudayaan dan warisan kerana banyak penyelidikan, ekskavasi, pemuliharaan, inovasi dan promosi yang perlu dilakukan. Hasil ekskavasi pasukan arkeologis USM pimpinan Prof. Dato\u2019 Dr. Mokhtar Saidin misalnya, telah menemukan Pusat Tamadun Sungai Batu di Kedah yang wujud pada sekitar abad keenam Masihi dan menjadi pusat peleburan dan eksport besi ke dunia. Nilai ekonomi atau komersialnya mungkin kecil tetapi memberikan dampak sejarah yang amat penting kepada negara. Demikian juga apakah ertinya Pulau Pinang dan Melaka diiktiraf sebagai tapak warisan dunia jika tidak ada susulan kajian arkeologi daratan dan arkeologi di bawah air (arkeologi maritim) untuk penggalian dan penemuan khazanah warisan negara. Pasti bahawa kos untuk projek itu amat besar.\nLanjutan isu pokok pemartabatan kebudayaan negara itu berkaitan dengan peluasan pengajian, penyelidikan, penerbitan dan promosi kebudayaan dan warisan negara. Usaha menaikkan taraf Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) menjadi pusat kecemerlangan pendidikan tinggi bidang sains sosial dan kemanusiaan (HICOE) Kementerian Pendidikan Tinggi, sebagai contoh dapat memesatkan dan melonjakkan pengajian, penyelidikan, penerbitan dan pelestarian tamadun alam Melayu.\nPerkara lain yang penting adalah berkaitan dengan upaya mengerjakan puluhan ribu manuskrip Melayu lama agar diangkat sebagai bahagian penting ilmu dan kearifan watan dalam pelbagai tanah tamadun, seperti agama, undang-undang, ketatanegaraan, pensejarahan, perubatan, persenjataan, teknologi, susastera dan diplomasi. Pengerjaan yang saya maksudkan meliputi beberapa program. Yang pertama ialah transliterasi Jawi klasik kepada Rumi, pengeditan dan penerbitan teks induknya dalam bentuk karya agung, seperti yang diusahakan oleh Yayasan Karyawan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka dan beberapa pihak lain.\nKedua, pengolahan karya induk manuskrip Melayu lama dalam bentuk terbitan turunan seperti edisi yang dipermudah, saduran, animasi, komik, teater, filem, dokudrama dan yang lain bagi tujuan pemasyarakatan karya-karya kearifan watan itu, termasuk di peringkat dunia. Program pelatihan untuk membina tenaga berkemahiran tinggi dalam pengendalian tugas yang berkaitan dengan manuskrip Melayu lama menjadi satu keperluan penting.\nCadangan yang turut saya angkat dalam sidang di Dewan Negara ialah penubuhan Pusat Tamadun Negara di ibu negara sebagai pengiktirafan kepada tamadun Melayu sebagai tamadun teras negara ini. Cadangan itu asalnya telah dikemukakan oleh Tan Sri Dato\u2019 Seri Utama Dr. Rais Yatim kepada Perdana Menteri, dan saya angkat di sidang Dewan Negara agar kerajaan serius menyusulinya. Syukur Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan dalam respons di Dewan Negara menyokong penuh cadangan itu.\nBersama-sama dengan beberapa pihak lain, saya merancang untuk menyediakan dan menyampaikan kertas cadangan kepada kerajaan bagi penubuhan pusat tersebut. Demikian juga, beberapa cadangan lain yang saya timbulkan dalam sidang di Dewan Negara perlu disusuli oleh persatuan dan badan lain yang merupakan pemegang kepentingan kebudayaan negara dalam bentuk sokongan dan kerjasama bersepadu untuk membantu kerajaan merealisasikannya." "Anugerah Seni BOH Cameronian Kembali dengan Wajah Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 BOH Plantations dan Kakiseni mengumumkan senarai pencalonan untuk acara berprestij Anugerah Seni BOH Cameronian ke-18 (BCAA18) yang bertempat di Pusat Persembahan Seni Petaling Jaya (PJPAC). Majlis anugerah tersebut bakal berlangsung pada 14 Mei 2023 di PJPAC, 1 Utama Shopping Centre, Petaling Jaya, Selangor. BCAA18 disokong oleh penaja utama sejak sekian lama, iaitu BOH Plantations dengan kerjasama Binder Dijker Otte (BDO) di Malaysia yang muncul buat pertama kali sebagai rakan penganjur.\nBCAA18 merupakan kemuncak persembahan karya yang dinilai sejak tiga tahun lalu, bermula dari tahun 2020 hingga tahun 2022 dan terdapat lebih 1010 produksi yang telah menyerahkan borang penyertaan untuk acara berprestij ini. Selepas tertangguh kira-kira tiga tahun akibat wabak pandemik COVID-19, BCAA kembali semula pada tahun ini dan bakal menjadi sebuah acara paling menarik untuk industri seni persembahan negara setelah operasi semula teater dan lokasi seni dibuka sepenuhnya kepada penonton.\nAntara barisan panel juri BCAA18 termasuklah Dr. Andrew Filmer, Dominic Luk, Janet Kan, Ng Yuet Sum, Sara Heng, Dr. Sayyid Shafiee dan Tan E-Jan untuk kategori muzik. Manakala Alla @ Azura Abal Abas, Choong Wan Chin, Foo Chi Wei, Kenny Shim, Rathimalar Govindarajoo dan Mohd. Yunus Ismail bagi kategori tarian. Christopher Ling, Fazleena Hishamuddin, Dr. Muralitharan Pillai, Dr. Syahrul Musa, dan Yves Yap, Colin Kirton, Mervyn Peters, Michael Xavier Voon, Sabrina Hassan dan Sandra Sodhy pula bagi kategori teater.\nSelain mengiktiraf individu yang cemerlang dalam lakonan, muzik dan tarian, BCAA18 turut mengiktiraf kru belakang tabir merangkumi produksi seperti kostum dan solekan, muzik dan bunyi, reka bentuk visual serta set dan reka bentuk pencahayaan.\nJason Foo, Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations menyatakan kegembiraannya apabila BCAA kembali sebagai salah sebuah acara kemuncak dalam industri seni tanah air.\n\u201cPada tahun 2020, BCAA17 diadakan secara maya buat pertama kali bagi meraikan pencapaian seni tahun 2019 dan mengiktiraf produksi terbaik untuk tahun tersebut. Syarikat produksi ini dikenal pasti berdasarkan sumbangan berterusan mereka kepada industri seni,\u201d ujar Jason Foo.\nLow Ngai Yuen, Presiden Kakiseni berkata, Geran BOH Cameronian diberikan untuk pengeluaran baharu bagi membantu memulakan semula pengkaryaan. Selain itu, tema BCAA18, iaitu A New Day, Setia Pada Senimu adalah cerminan sebenar semangat masyarakat seni persembahan untuk bangkit semula dari bawah dan kembali dengan semangat yang baharu.\nSenarai akhir calon anugerah terbaik BCAA18 adalah teater A National History daripada Five Arts Centre, muzik Dark Light (Young Choral Academy), muzik Dream of the Red Chamber (Lee Rubber Chinese Orchestra KL), teater muzikal Follow the Light (TheatreThreeSixty) dan tarian N2 (La Danza Theatre).\nKategori Reka Bentuk Pencahayaan Terbaik pula, Tan Eng Heng dengan karya Alice in Wonderland terbitan Ballet Theatre Malaysia, Merentas Awan. Reconnect. Recreative (Kwang Tung Dance Company) serta Veeky Tan untuk Anggota (Five Arts Centre) sebagai calon akhir.\nCalon akhir bagi kategori Reka Bentuk Visual dan Set Terbaik adalah Passion Ma (Alice in Wonderland dan Merentas Awan. Reconnect. Recreative serta Wong Tay Sy (Anggota).\nJyotsna Prakash (Kinnara-Moon People/Geetha Shankaran Dance), MK Ridzuan (Pragina-Emosi/The Actors Studio Seni Teater Rakyat & KLPAC) dan Ravi Shetty (Sadhana-The Grace Through Kathak/TFA Inner Space Dance Company) pula merupakan calon akhir kategori Reka Bentuk Bunyi dan Muzik Terbaik.\nDi samping itu, hanya Krithika Ramachandran (Shyam..The Blue Devotion/Laasya Arts Academy) dan Queenie Chong (Alice in Wonderland) bertanding dalam kategori Reka Bentuk Kostum, Gaya dan Solekan Terbaik.\nKategori Persembahan Instrumental Berkumpulan pula ditandingi Cecilia Yap & Elaine Pao untuk A Pilgrim\u2019s Song terbitan Viva Opera, Orang-Orang Drum Theatre X Angelika Niescier Trio (Gossip/Jue Ue Shi the Hidden Tune by Orang Orang Drum Theatre X Angelika Niescier Trio) dan Lee Rubber Chinese Orchestra (The Lantern Festival/Dream of the Red Chamber by Lee Rubber Chinese Orchestra KL).\nCecilia Yap turut bertanding dalam kategori Vokal \u2013 Persembahan Solo Terbaik dengan Mi Chiamano, Mimi (Aria of Mimi)/A Grand Night of Opera by KL City Opera, dan A Pilgrim\u2019s Song mencabar Mak Chi Hoe (Non Piu Andrai, Farfallone Amoroso (Aria of Figaro)/Grand Night of Opera by KL City Opera).\nPemenang kategori Penghibur Utama Terbaik, Koreografer Karya Jangka masa Lama, Instrumental \u2013 Persembahan Solo Terbaik, Pengarahan Muzik Terbaik dan Persembahan Peneraju Terbaik akan diumumkan pada malam anugerah BCAA18.\nKategori Vokal \u2013 Persembahan Berkumpulan Terbaik ditandingi Kuala Lumpur City Opera Principal Artist and Chorus untuk lagu Brindisi. Manakala Mak Chi Hoe and Kuala Lumpur City Opera Chorus pula dengan lagu Votre Toast (Toreador Song) yang diterbitkan oleh A Grand Night of Opera by KL City Opera.\nIan Chow, Easee Gan dan Jacqueline Teng dengan Cabaret Series: Golden Melody 3 terbitan The Actors Studio Seni Teater Rakyat & KLPAC, Eric Lee Yin Fah (The Spirit of Celtic/Philharmonic Winds of Malaysia) dan Mervyn Peters (Songs for the Season 2022 \u2013 Peace on Earth/The Philharmonic Society of Selangor) pula bertanding dalam kategori Arahan Muzik Terbaik.\nPersaingan kategori diminati ramai, iaitu Pelakon Lelaki Terbaik pula dipanaskan dengan pencalonan Akmal Asyraf dalam Bangsawan Indie: Raja Bersiong terbitan Revolution Stage X LiveinMyPoetry, Gregory Henno (Ignite: Festival Persembahan Solo Festival 2022 (Kumpulan B)/Good News Art Space, Shah Shaha (24 Jam dalam 37 Tahun/Theatre ThreeSixty) dan Zul Zamir (Ignite: Festival Persembahan Solo 2022 (Kumpulan A) sebagai calon akhir.\nSatu lagi kategori kesukaan ramai, iaitu Pengarah Terbaik ditandingi Christopher Ling yang mengarahkan 24 Jam dalam 37 Tahun, Ling Tang (Ibu/Iron Gang Puppet Theatre), Mark Teh (A National History) dan Rahim Jo & Khairunazwan Rodzy (Bangsawan Indie: Raja Bersiong).\nKategori lain yang turut dipertandingkan ialah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Persembahan Berkumpulan Terbaik, Skrip Asal Terbaik, Reka Bentuk Pencahayaan Terbaik, Reka Bentuk Visual atau/Set Terbaik, Reka Bentuk Bunyi Muzik Terbaik, dan Reka Bentuk Kostum, Gaya dan Solekan Terbaik." "[email\u00a0protected] 2023 Merapatkan Silaturahim dan Toleransi antara Kaum di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 [email\u00a0protected] 2023 anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) yang berlangsung pada 8 dan 9 April serta 15 dan 16 April ini mampu mengeratkan silaturahim dan toleransi antara kaum di Malaysia.\nMenurut Yang Berhormat (YB) Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, program ini juga bertujuan untuk mengimarahkan dan memakmurkan bulan Ramadan sebagai bulan ibadah dan keprihatinan sesama insan selain menambah nilai kerohanian dalam diri setiap insan. Di samping itu, program ini turut menyemarakkan lagi kebudayaan dan kesenian negara kepada para pelancong asing.\n\u201cProgram [email\u00a0protected] pada tahun ini merupakan penganjuran kali ke-11 dan pada mulanya dikenali sebagai Festival Ramadan pada tahun 2012 hingga tahun 2014 dengan mencatatkan jumlah kehadiran khalayak tempatan dan antarabangsa seramai 65 380 orang pada masa tersebut,\u201d ujar YB Khairul Firdaus Akbar Khan sewaktu berucap pada majlis Pelancaran [email\u00a0protected] semalam.\nTambah YB Khairul Firdaus Akbar Khan lagi, sambutan program ini bertambah luar biasa selepas dijenamakan semula pada tahun 2015 hingga kini yang dikenali sebagai [email\u00a0protected] dengan jumlah keseluruhan kehadiran pengunjung tempatan dan antarabangsa dari tahun 2015 hingga tahun 2019 adalah seramai 346 974 orang.\n\u201cIftar [email\u00a0protected] Online yang pertama kali berlangsung pada 29 hingga 30 April 2021 telah disiarkan menerusi JKKNTV Online dan telah berjaya meraih 13 925 tontonan dari Malaysia dan negara-negara luar seperti Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand, Amerika Syarikat, United Kingdom, Mesir, Australia, Ethiopia, Qatar dan Taiwan dengan nilai perhubungan awam bagi Iftar 2021@ Ramadan Online adalah sebanyak RM5 265 037.91,\u201d jelas YB Khairul Firdaus Akbar Khan.\nYB Khairul Firdaus Akbar Khan turut berkata, pihak JKKN menyasarkan seramai 10 000 pengunjung bakal menghadiri program ini yang berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur selama empat hari, iaitu pada 8, 9, 15 dan 16 April ini. Sasaran ini dilihat realistik selepas beberapa siri penganjuran pada tahun terdahulu berjaya mendapat sambutan yang luar biasa daripada masyarakat Malaysia.\n\u201cWalaupun program [email\u00a0protected] hanya dianjurkan di ibu kota sahaja, namun program ini turut berjaya menarik perhatian masyarakat dari luar Kuala Lumpur termasuklah para pelancong asing yang dianggarkan berjumlah seramai hampir 350 000 orang hingga tahun 2019,\u201d kata YB Khairul Firdaus Akbar Khan.\nPara pengunjung yang hadir ke program ini boleh menikmati suasana berbuka puasa beramai-ramai di atas jalan raya dan padang rumput sambil melihat pemandangan menarik Bangunan Sultan Abdul Samad. Antara pengisian menarik sepanjang program ini berlangsung ialah penyediaan bubur lambuk, tadarus al-Quran, solat berjemaah dan tarawih, tazkirah, ceramah perdana, persembahan nasyid, perkhidmatan kaunter bayaran zakat dan jualan trak makanan.\nMajlis pelancaran program [email\u00a0protected] 2023 turut disiarkan secara dalam talian menerusi laman media sosial Facebook Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di https://www.facebook.com/JabatanPeneranganWPKL/videos/183137707862297." "Badan Keluarga DBPWS Menyantuni Anak-anak Yatim\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJohor Bahru \u2013 Badan Keluarga (BAKWIS) Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) menyantuni anak-anak yatim Pusat Jagaan Kasih Setanggi dengan menganjurkan Program Ihya Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa pada 10 April 2023, bertempat di Pusat Jagaan Kasih Setanggi, Johor Bahru, Johor.\nPengerusi BAKWIS, Muhammad Izwan Mohamad Don berkata, program ini julung-julung kali dianjurkan oleh BAKWIS yang bertujuan untuk meraikan golongan yang kurang bernasib baik. BAKWIS turut mengambil peluang melaksanakan aktiviti \u201cMudahnya Belajar Jawi\u201d dan \u201cPertandingan Mewarna\u201d bersama-sama anak-anak Pusat Jagaan Kasih Setanggi dengan kerjasama Unit Penerbitan DBPWS.\n\u201cSelain itu, BAKWIS turut menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian dan sumbangan duit raya bagi menceriakan anak-anak di pusat jagaan tersebut,\u201d jelas Muhammad Izwan lagi.\nDi samping itu, Pengarah DBPWS, Encik Mohd. Riduwan Wahab turut hadir menyampaikan sumbangan kepada Pengetua Pusat Jagaan Kasih Setanggi, Puan Juhaida Maskom.\n\u201cSaya berharap agar BAKWIS akan meneruskan program seumpama ini lagi pada tahun depan. Sungguhpun sumbangan kami kecil, namun diharapkan dapat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan. Selain berbuka puasa, staf DBPWS turut meluangkan masa beramah mesra bersama dengan anak-anak Pusat Jagaan Kasih Setanggi.\n\u201cSelain mengeratkan silaturahim antara staf DBPWS dengan pihak komuniti setempat, program ini dapat menerapkan rasa simpati, menumbuhkan rasa kasih sayang dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan, terutamanya anak-anak yatim yang sangat dahagakan kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa. Semoga dengan kehadiran staf DBPWS dapat memberikan dan menambah keceriaan kepada anak-anak Pusat Jagaan Kasih Setanggi,\u201d kata Pengarah DBPWS lagi.\nPusat Jagaan Kasih Setanggi didaftarkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 2019 oleh pengasasnya, Puan Juhaida Maskom. Pusat Jagaan Kasih Setanggi mempunyai 37 orang kanak-kanak berumur empat sehingga enam tahun dan dibantu oleh tujuh orang pengasuh. Kepada sesiapa yang berminat untuk memberikan sumbangan boleh menghubungi Puan Juhaida pada talian 018-768 2779." "Rewang Aidilfitri di Tiga Daerah di Selangor Pupuk Amalan Menghargai Tradisi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kerajaan negeri Selangor akan menganjurkan program Jom Rewang Sekampung Aidilfitri di tiga daerah negeri tersebut pada tahun ini bagi menghidupkan semula amalan tradisi dalam kalangan masyarakat Malaysia.\nYang Berhormat (YB) Borhan Aman Shah, Exco Pembangunan Luar bandar, Kampung Tradisi, Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan Selangor berkata, program tersebut dijadualkan berlangsung di Klang, Sabak Bernam dan Gombak bagi memastikan golongan muda dapat merasai pengalaman suasana gotong-royong sekampung yang turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti lain.\n\u201cProgram rewang ini akan dianjurkan selama dua hari satu malam dengan kerjasama masyarakat kampung yang berkumpul untuk memasak dan bersama-sama menikmati hidangan pada sebelah malam dalam suasana kenduri sekampung,\u201d kata YB Borhan Aman Shah ketika bersiaran dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) semalam.\nTambah beliau lagi, tradisi ini perlu dikekalkan supaya masyarakat khususnya generasi muda dapat mengetahui bahawa gotong-royong masyarakat kampung sebenarnya telah wujud sejak sekian lama untuk mengekalkan perpaduan dalam semua lapisan masyarakat.\n\u201cDuli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-haj dijadualkan bakal mencemar duli menghadiri program Jom Rewang Sekampung Aidilfitri di Klang, manakala Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut dijangka hadir bagi memeriahkan program tersebut,\u201d ujar YB Borhan Aman Shah.\nMenurut YB Borhan Aman Shah, program Jom Rewang Sekampung Aidilfitri ini dianjurkan selepas melihat kejayaan program Jom Rewang Sekampung yang dianjurkan pada tahun lalu. Di samping itu, kerajaan negeri Selangor juga akan menganjurkan program rewang sekampung di setiap daerah bagi menghidupkan kembali amalan tradisi dalam kalangan masyarakat sekali gus membentuk perpaduan yang utuh dalam kalangan masyarakat.\nYB Borhan Aman Shah turut berkata, program Jom Rewang Sekampung yang dilaksanakan pada tahun lepas berjaya mengenal pasti identiti penduduk setiap daerah di Selangor kerana negeri ini sebenarnya mempunyai pelbagai etnik dan budaya yang unik dan berbeza.\nJelas beliau lagi, contohnya di Hulu Langat, program tersebut berkonsepkan majlis perkahwinan mengikut istiadat masyarakat Minangkabau, manakala di Sabak Bernam pula program tersebut dilaksanakan berdasarkan tradisi masyarakat Jawa." "Bahasa Melayu sebagai Bahasa Sains dan Teknologi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2013 Bahasa Melayu sebagai bahasa \u00a0sains dan teknologi? Hal ini tidak mustahil kerana bahasa Melayu sentiasa berkembang dan telah mengalami tiga zaman perkembangan bahasa, iaitu zaman kuno, zaman klasik dan zaman moden. Demikian antara kupasan menarik oleh Dr. Mohamad Alinor Abdul Kadir, Ahli Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) dalam Ceramah Umum 1/2021 Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu.\nMenurut Mohamad Alinor lagi, banyak cara untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi. Antaranya termasuklah menemukan semua bentuk sumber dalam bahasa Melayu, menganalisis perkataan bahasa Melayu asli atau yang telah diubah suai atau ambilan, menganalisis makna atau konsep sains dan teknologi di sebalik perkataan bahasa Melayu asli atau yang diubah suai atau ambilan, membandingkan makna atau konsep dengan sains dan teknologi sezaman, membandingkan makna atau konsep dengan sains dan teknologi moden serta membangunkan konsep sains dan teknologi Melayu.\nCeramah menarik yang berjudul \u201cTiga Zaman Perkembangan Bahasa Melayu: Persoalan Bahasa Sains dan Teknologi\u201c ini bersiaran secara langsung \u00a0menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP baru-baru ini." "Suri Teladan dalam Penggunaan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerdana Menteri Malaysia pada awal bulan Oktober 2021 mengakui bahawa Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara kerajaan dengan pembangkang menampakkan impak yang baik.\nMenurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keadaan sekarang kelihatan agak tenang bukan sahaja di luar tetapi juga di dalam Dewan Rakyat yang bersidang pada setiap hari Isnin hingga Khamis.\n\u201cDi luar lebih tenang tetapi serangan terhadap kerajaan seperti dahulu sudah berkurangan. Walaupun pembangkang, saya dah beritahu mereka, kekal sebagai pembangkang. Mereka kecam kerajaan itu kerja mereka, kita perlu semak dan imbang kepada kerajaan,\u201d kata beliau lagi.\nBeliau menjelaskan bahawa keadaan sekarang menampakkan sikap saling menghormati yang semakin tinggi dalam kalangan ahli Parlimen.\nTerdapat perubahan yang ketara dari segi sikap dan bahasa yang digunakan oleh ahli Parlimen selepas termeterainya perjanjian berkenaan. Sesungguhnya, hal itu merupakan \u201cangin segar\u201d dalam politik negara. Sebelum ini, keadaan di dalam Dewan Rakyat kecoh dan kadangkala tidak terkawal. Ada wakil rakyat yang gagal mengawal emosi malah kelihatan emosional.\nSesetengah wakil rakyat dan pemimpin politik negara ini bukan sahaja tidak memperlihatkan sikap mulia tetapi menggunakan bahasa Melayu rendah. Mereka menghamburkan kata-kata kesat, kasar, dan tidak sopan ketika berucap atau bangun mencelah.\nKini, kelihatan tidak terdapat gangguan dan jarang-jarang kita dengar wakil rakyat yang menggunakan bahasa yang tidak sopan dan kesat. Hal ini satu petanda positif dan budaya atau amalan ini harus terus dipupuk dan diamalkan di dalam Dewan Rakyat atau Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri.\nPada Ogos 2018, dalam satu pertemuan dengan budayawan di Petaling jaya, Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim juga menegur sikap sesetengah perwakilan di Parlimen yang menggunakan bahasa Melayu secara cacamarba.\n\u201cBukan sahaja penggunaan yang tidak betul, malah ada yang menggunakan kata-kata kesat dan tidak sopan. Hal ini tidak patut berlaku. Malulah jika anak-anak kecil melihat dan mendengar pertuturan sebegini,\u201c ujarnya. Beliau mengingatkan semua pihak agar tidak meremehkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.\nItulah sebabnya pada Julai 2020, Tan Sri Dato\u2019 Seri Utama Dr. Rais Yatim mencadangkan agar ahli Dewan Rakyat yang tidak menjaga bahasa dan kelakuan ketika persidangan perlu dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dan pada masa sama perlu memberikan penjelasan mengapa mereka tidak boleh dikenakan denda atas perilaku masing-masing.\nDewan Rakyat perlu mewujudkan Tatacara Piagam Kelakuan Baik untuk ahli Parlimen ketika bersidang termasuk dari segi peraturan bahasa. Hal ini demikian kerana kita tidak boleh membiarkan ahli Dewan Rakyat yang gagal mengawal emosi ketika bersidang sehingga ada yang sanggup menggunakan kata-kata kesat sesama sendiri ketika bersidang.\nSelain itu, tatacara itu juga bagi mereka yang menggunakan bahasa Inggeris sewenang-wenangnya dan mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Mereka perlu menghormati bahasa Melayu ketika berbahasa di dalam Dewan, sesuai dengan taraf Dewan dan kedudukan mereka sebagai Yang Berhormat.\nTambahan pula, ada yang menggunakan gelaran negatif kepada lawan politiknya tanpa mempedulikan perasaan individu yang menjadi sasaran. Tujuannya adalah untuk menjatuhkan reputasi, memperlekeh dan menyerang pihak lawan tanpa mengendahkan tatapelakuan dan kesannya. Perbuatan sedemikian bukan sahaja merimaskan rakyat, tetapi mereka sebenarnya menghantar mesej yang tidak baik kepada rakyat, terutama kepada golongan muda dan pelajar sekolah.\nAntaranya seperti \u201ckepala bapakau\u201d, \u201csamseng\u201d dan \u201cmonyet\u201d, yang bukan sahaja boleh menyinggung perasaan orang lain tetapi memperlihatkan bahasa yang tidak sesuai sama sekali digunakan oleh mereka yang bergelar Yang Berhormat. Kata-kata kesat, mencarut dan penggunaan gelaran menghina, negatif dan mengejek membangkitkan kemarahan individu atau parti yang menjadi sasaran.\nIngat, pada zaman media baharu, pemimpin politik tidak lagi boleh lepas cakap atau bercakap sesuka hati.\nSebelum kemunculan media sosial, apa-apa yang berlaku di dalam Dewan Rakyat hampir tidak diketahui oleh rakyat, apatah lagi Dewan dianggap sebagai tempat yang elitis dan mulia \u2013 yang sukar didampingi dan didekati rakyat biasa.\nRakyat hanya tahu isu yang dibangkitkan dan kejadian di dalam Dewan, termasuk kekecohan dan sikap wakil rakyat yang suka menjerit dan menggunakan kata-kata kesat apabila dilaporkan oleh media arus perdana.\nWakil rakyat bukan sekadar menjadi pemimpin dalam bidang politik. Mereka seharusnya menjadi suri teladan dan contoh terbaik dari segi penggunaan bahasa Melayu. Seyogia diingatkan, pemimpin adalah seperti ular, jika kepala mematuk, ekor akan membelit.\nRakyat akan mengikut pemimpin yang memperlihatkan contoh yang baik, termasuk dari segi penggunaan bahasa. Bukan tidak ada istilah, kata-kata dan ungkapan pemimpin politik yang cepat popular dan digunakan dengan meluas oleh rakyat kerana wibawa dan kehebatan bahasa pemimpin terbabit pada suatu ketika dahulu.\nYa, kalau wakil rakyat dan ahli Parlimen tidak menggunakan bahasa yang baik, bagaimanakah mereka hendak menegur dan menasihati rakyat?\nTentulah prinsip kepemimpinan melalui teladan tidak akan dapat diterapkan. Jangan sampai ada ahli Parlimen yang serupa dengan bidalan Melayu, iaitu seperti ketam mengajar anak berjalan betul.\nTidak ada alasan untuk wakil rakyat kita tidak dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik. Kita berbangga kerana ada dalam kalangan ahli Parlimen muda daripada bukan Melayu yang begitu komunikatif dan efektif dari segi penggunaan bahasa.\nBahasa mereka terpelihara dari segi penggunaan perkataan, tatabahasa, sebutan dan struktur ayat. Pemikiran mereka jelas dan teratur. Mereka berjaya menggunakan bahasa Melayu tinggi dengan idea bernas, sekali gus mengangkat darjat serta menaikkan imej dan reputasi mereka sebagai pemimpin.\nPemimpin politik seharusnya memperlihatkan keupayaan tinggi dalam penggunaan bahasa. Hanya dengan menguasai bahasa Melayu pada tahap terbina dan tahap tinggi mereka dapat membentangkan buah fikiran, hujah dan pandangan dengan baik.\nBagaimanakah mungkin seseorang pemimpin politik dapat membentangkan fakta, hujah dan wacana dengan berkesan jika tahap penguasaan bahasa Melayunya begitu rendah dan lemah?\nBagaimanakah mungkin dia dapat mempengaruhi khalayak jika bahasa Melayunya lemah? Tentu dia akan gagal berkomunikasi dengan baik dan gagal meyakinkan rakyat. Hal ini satu kerugian dari segi politik. Dalam komunikasi politik, keberkesanan dalam penggunaan bahasa amatlah penting.\nSebelum ini, kita dapat melihat bagaimana terdapat segelintir wakil rakyat yang terkial-kial mengungkapkan diri dalam bahasa Melayu walaupun sudah berada di dalam Dewan untuk puluhan tahun. Tidakkah mereka berusaha untuk memperbaik bahasa Melayu?\nAdakah bahasa Melayu terlalu sukar? Tidakkah mereka sedar bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan bahasa utama sebagai alat komunikasi dan perbahasan di dalam Dewan?\nAhli Parlimen perlu dilihat berupaya menguasai kosa kata, frasa, peribahasa, metafora dan unsur jalinan komunikasi yang lain. Penggunaan alat-alat hujahan atau dalil yang sesuai, didukung oleh teknik retorik dan stilistik yang sesuai\u00a0 pasti akan memungkinkan pengucapnya menyampaikan hujah dengan berkesan.\nSeharusnya, mana-mana ahli politik yang mahu mengukir kejayaan dalam bidang politik di negara ini perlu menguasai bahasa Melayu. Mereka perlu rajin membaca bahan bacaan yang berkualiti tinggi dalam bahasa Melayu termasuklah majalah dan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Hakikatnya, mereka memainkan peranan untuk mengangkat wibawa bahasa itu. Dalam usaha untuk mengangkat bahasa berkenaan, ahli politik terbabit juga mengangkat dan mengukuhkan etos dan wibawanya sebagai pemimpin.\nAhli Parlimen dan semua pemimpin politik sepatutnya bertanggungjawab dalam memberikan contoh terbaik dalam usaha memartabatkan bahasa\u00a0 Melayu. Bahasa yang sopan dan berkualiti tinggi dapat menjadikan pemimpin politik suri teladan dalam penggunaan bahasa Melayu. Biarlah ahli politik kita turut dikagumi, dihormati dan disanjungi kerana kehebatannya menggunakan bahasa Melayu.\n\u00a0\nDr. Jeniri Amir \u2212 Pengamat bahasa dan penganalisis politik yang merupakan Felow Kanan Majlis Profesor Negara." "[email\u00a0protected] Menghidupkan Tradisi Malam Tujuh Likur\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Terengganu \u2013 Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu dan semua pejabat daerah di negeri tersebut sekali lagi menganjurkan Program Pelita Raya Terengganu 2023 (PeliTer @KBT) pada malam tujuh likur di Kampung Budaya Terengganu (KBT) pada tahun ini.\nPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri Terengganu, Yang Berhormat (YB) Ariffin Deraman berkata, program ini bertujuan untuk menghidupkan suasana malam tujuh likur sebagaimana masyarakat pada zaman dahulu menyambutnya.\nTambah beliau lagi, program ini berlangsung selama lima hari bermula dari 14 hingga 18 April 2023, jam 9.00 malam hingga 11.30 malam dengan bertemakan \u201cComeynya Peliter\u201d. Program ini mengetengahkan konsep \u201c1 Pejabat Daerah, 1 Rumah Tradisi\u201d dengan setiap peserta membabitkan lapan daerah perlu menghiaskan rumah-rumah tradisi dan check point yang terdapat di KBT.\n\u201cPejabat Daerah Dungun perlu menghias Rumah Bujang Serambi Selasar, Pejabat Daerah Hulu Terengganu pula diberi tugas mencantikkan Perahu Besar dan Galeri Pelayaran, Pejabat Daerah Kemaman (Istana Tengku Long), Pejabat Daerah Besut (Rumah Nelayan), Pejabat Daerah Kuala Terengganu (Rumah Bujang Berkembar), Pejabat Daerah Marang (Rumah Limas Belanda), Pejabat Daerah Kuala Nerus (Laman Warisan) dan Pejabat Daerah Setiu pula akan menghias Rumah Tele,\u201d jelas YB) Ariffin Deraman ketika bersiaran dalam rancangan Manis Manis Pagi menerusi saluran radio Manisfm.\nMenurut YB Ariffin Deraman, hasil rekaan replika dan dekorasi oleh para peserta perlu menggunakan barangan terpakai dan disyaratkan menggunakan lebih daripada 150 pelita sumbu.\nYB Ariffin Deraman turut berkata, para pengunjung yang hadir ke program ini juga boleh melihat dan menikmati pelbagai aktiviti sampingan yang dirangka oleh pihak JPNT seperti demonstrasi dan jualan produk kering Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta turut dapat merasai pengalaman moreh tradisional negeri Terengganu selain melihat sendiri dan bergambar dengan pelbagai replika dan keunikan dekorasi pelita yang dipamerkan oleh para peserta yang melibatkan lapan pejabat daerah di negeri Terengganu.\n\u201cHarga bayaran masuk untuk orang dewasa hanya RM1 dan percuma bagi golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak yang berusia bawah 6 tahun,\u201c ujar YB Ariffin Deraman.\nBeliau turut berharap agar program ini dapat merancakkan lagi aktiviti pelancongan negeri dan mampu memelihara adat dan budaya masyarakat Melayu dahulukala sekali gus mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan pilihan yang menawarkan pelbagai pakej dan produk pelancongan yang berasaskan seni budaya dan warisan.\nProgram pada kali ini bukan sahaja menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM14 000 kepada pejabat daerah, bahkan kepada para pengunjung yang hadir menerusi Pertandingan Fotografi, videografi dan Tik Tok [email\u00a0protected] 2023 yang terbuka kepada semua pengunjung bermula pada 14 hingga 18 April 2023 dalam usaha untuk menarik lebih banyak pengunjung untuk hadir ke program tersebut." "Panjut: Kreativiti, Tradisi dan Rezeki\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSewaktu penulis menetap di Kuala Kangsar kira-kira 35 tahun yang lalu, terdapat satu kegiatan unik yang melibatkan penyertaan hampir semua peringkat umur merangkumi kanak-kanak, dewasa dan golongan tua. Kegiatan tersebut yang hanya dilakukan dalam bulan Ramadan dijadikan sebagai acara tahunan dan hingga ke hari ini, budaya tersebut masih lagi diteruskan sehingga dianggap sebagai satu tradisi ikonik kepada bandar diraja negeri Perak itu.\nPada malam menjelang Hari Raya Aidilfitri pula dapat dilihat kenderaan-kenderaan berkonvoi atau berbaris panjang bergerak perlahan-lahan dari bandar Kuala Kangsar menuju ke destinasi tumpuan seperti Kota Lama Kiri, Kota Lama Kanan dan Sayong untuk menyaksikan kemeriahan tradisi tersebut. Bukit Chandan turut menjadi salah satu lokasi tumpuan dengan orang ramai boleh melihat pertunjukan panjut yang berseberangan dengannya, iaitu di sepanjang pesisiran Sungai Perak.\nTerlepas peluang menontonnya akan menyebabkan seseorang itu terpaksa menunggu tahun berikutnya kerana tradisi tersebut hanya dapat disaksikan dalam bulan Ramadan sahaja. Rentetan itu, tidak hairanlah apabila banyak kenderaan sanggup bersesak-sesak di atas jalan raya semata-mata untuk menjadi saksi kepada kemeriahan tradisi yang dimaksudkan.\nKegiatan atau acara yang dimaksudkan ialah Pesta Panjut dan kemuncak kemeriahannya ialah pada malam 27 Ramadan. Panjut berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat didefinisikan sebagai suluh yang diperbuat daripada damar dan dibungkus dengan daun atau pancaran dan sinar lampu. Dalam konteks kegiatan yang dibicarakan dalam penulisan ini, panjut merujuk kepada pelita hiasan yang dipasang menjelang Hari Raya Aidilfitri dengan menggunakan minyak tanah.\nTradisi ini dikatakan bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim tanpa mengira lapisan umur, bahkan turut mampu mencetuskan pemikiran yang kreatif dan inovatif dalam memeriahkan suasana kampung masing-masing. Terdapat juga mukim-mukim yang mengadakan pertandingan dan pertunjukan yang bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan pemuafakatan sesama ahli kariah sesebuah kampung, tetapi juga dapat mengindahkan kampung sehingga menjadi daya tarikan kepada masyarakat luar untuk menyaksikannya.\nSebagai contoh, pada tahun 2016, satu program yang dikenali dengan nama Pertandingan dan Pertunjukan Panjut Parlimen Padang Rengas telah dilancarkan dan sebanyak 42 buah kampung telah mengambil bahagian. Dalam program tersebut, tiga buah tema telah ditetapkan, iaitu \u201cKampungku\u201d, \u201cBangunan Bersejarah\u201d dan \u201cSelamat Hari Raya\u201d. Berdasarkan kepada tema-tema yang telah diputuskan itu, peserta-peserta yang mengambil bahagian akan mula membina replika atau menara sama ada berbentuk bangunan, tulisan, motif dan sebagainya dengan menggunakan buluh atau sebarang bahan yang berasaskan kepada penggunaan sumbu pelita secara kreatif dan unik yang mampu memikat sesiapa sahaja yang memandangnya.\nKuala Kangsar boleh dianggap sebagai induk atau pusat dalam Pesta Panjut kerana bandar diraja itu sudah sekian lama meraikan tradisi tersebut selain sering menghidangkan pelbagai seni bina yang kreatif dan unik yang sukar didapati di tempat-tempat lain. Pada tahun 2021 misalnya, panjut bersaiz gergasi bertemakan \u201cMasjid Selat Melaka\u201d telah dibina di Kampung Ribu, Padang Rengas. Tujuan seni bina tersebut dihasilkan adalah untuk mengembalikan nostalgia terhadap era kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka yang pernah menjadi tapak penyebaran Islam di Tanah Melayu pada masa dahulu. Menurut laporan BERNAMA yang tersiar dalam Utusan Borneo pada 10 Mei 2021, lebih 2000 pelita digunakan untuk menyalakan panjut berbentuk masjid itu yang mempunyai seni bina empat aras yang memerlukan 32 batang buluh, 64 batang gelegar, 24 keping lantai dan 128 tetupai.\nSekitar tahun 1960-an, panjut bertemakan lambang-lambang parti politik menghiasi pemandangan di sekitar kampung-kampung di Padang Rengas. Di Kampung Lalang sebagaimana yang tercatat dalam satu artikel yang tersiar dalam Berita Harian pada 24 Februari 1964, menerusi inisiatif pemuda-pemuda parti politik PAS, hampir setiap rumah di kampung tersebut dipasang dengan panjut Bulan Bintang yang merupakan simbol yang menjadi lambang kepada parti berkenaan. Keadaan tersebut menyebabkan ahli-ahli UMNO terpinga-pinga kerana menyangkakan bahawa kampung itu telah menjadi kubu kuat PAS. Namun keadaan menjadi tenang dan harmoni setelah menyedari bahawa panjut-panjut bermotifkan bulan bintang itu sebenarnya merujuk kepada tema pertandingan panjut yang dianjurkan oleh para pemuda PAS dengan persetujuan penduduk kampung.\nSekitar dekad 1980-an dan 1990-an pula, panjut bintang menjadi tumpuan masyarakat di Kuala Kangsar kerana bentuknya yang unik dan bersifat mudah alih serta boleh digantung di perkarangan rumah. Pada masa itu, terdapat sebahagian penduduk yang menjadikan proses pembuatan panjut sebagai satu pekerjaan untuk mencari pendapatan sampingan.\nMenurut laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 April 1991, pembuatan panjut bintang dapat menghasilkan pendapatan yang lumayan kepada sesetengah penduduk dalam bulan Ramadan. Panjut bintang dijual dengan harga sekitar RM5 sehingga RM7 dengan jualan melebihi 200 unit. Keuntungan yang diperoleh adalah antara RM2200 sehingga RM3000 berdasarkan nilai wang pada masa ini.\nDi sesetengah tempat di Kuala Kangsar khususnya di Kampung Talang, kemeriahan pesta panjut digamatkan dengan dentuman meriam. Pada masa dahulu, meriam tersebut diperbuat daripada buluh, namun kini pembuatannya lebih banyak menggunakan besi kerana dikatakan mampu menghasilkan bunyi yang lebih kuat. Menurut penulisan M. Hamzah Jamaludin dalam New Straits Times pada 9 Julai 2016, bahan kimia seperti kalsium karbida yang dicampur dengan air akan menghasilkan gas asetilena. Jika dicucuh dengan api, gas asetilena yang terhasil itu akan mengeluarkan dentuman bunyi yang kuat dan boleh membingitkan telinga.\nKemeriahan Pesta Panjut tidak terbatas di Kuala Kangsar dan mukim-mukim sekitarnya sahaja, sebaliknya merebak ke daerah-daerah lain. Mungkin kerana tertarik dengan suasananya yang begitu mengujakan, khususnya pada malam-malam terakhir menjelang hari raya, maka kawasan lain turut mengamalkan pendekatan yang sama. Bahkan ada kawasan-kawasan tertentu yang menganjurkan pertandingan dengan menawarkan hadiah yang lumayan.\nSebagai contoh di Bagan Serai yang terletak dalam daerah Kerian, hadiah yang ditawarkan kepada pemenang tempat pertama bagi tahun 2022 berjumlah RM7000, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing berjumlah RM4000 dan RM2000. Sebanyak 18 buah kampung mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut. Kemeriahan sebenar tidak hanya dirasakan pada malam pertandingan, tetapi juga pada peringkat persediaan apabila para peserta yang terlibat saling bekerjasama bermula daripada pertukaran idea dan buah fikiran, pengumpulan wang untuk pembelian peralatan serta bergotong-royong untuk membina panjut.\nSelain itu, panjut mempunyai daya tarikan tersendiri dalam menyerlahkan kreativiti serta sensitiviti terhadap isu-isu semasa. Sebagai contoh, panjut yang membentuk tulisan Justice for Bella telah dibina sebagai tanda simpati dan sokongan kepada remaja \u201csindrom down\u201d yang dikenali sebagai Bella yang disyaki telah didera. Bagi menghasilkan seni bina tersebut, sekumpulan belia dari Kampung Bukit Merah, Semanggol yang terletak tidak jauh dari Bagan Serai telah menggunakan botol-botol sabun terpakai sebagaimana yang dilaporkan oleh Wat Kamal Abbas dalam Utusan Malaysia pada 25 April 2022.\nBotol-botol tersebut kemudiannya diubah suai dan ditebuk bagi membolehkan pelita dinyalakan dari dalam botol tersebut. Selain botol sabun, bahan-bahan terpakai yang lain seperti tin minuman dan botol sos turut digunakan untuk membina replika berbentuk rumah rakit dan kereta api. Penduduk kampung turut mengambil kesempatan dengan mempamerkan peralatan menangkap ikan tradisional dan basikal-basikal lama yang dihiasi pelita bagi menambahkan seri dan suasana kemeriahan.\nSetahun sebelumnya, panjut berbentuk kapal selam yang mempunyai ketinggian 3 meter dan panjang kira-kira 8 meter telah dibina oleh anak-anak muda di kampung tersebut. Mesej utama yang hendak disampaikan menerusi pembinaan panjut yang mempunyai bentuk sedemikian adalah untuk mengenang tragedi kapal selam Indonesia, KRI Nanggala 402 yang karam di perairan Bali, Indonesia selepas dilaporkan hilang pada 21 April 2021.\nSelain kapal selam, reka bentuk lain yang tidak kurang menariknya adalah seperti kereta api elektrik (ETS) dan rumah kampung yang dibina di perkarangan Pusat Komuniti Bukit Merah sebagaimana yang dilaporkan dalam BERNAMA menerusi artikel yang tersiar pada 2 Mei 2021 dalam laman web Astro Awani.\nDi Seberang Perak, pembuatan panjut berasaskan buluh masih lagi dikekalkan kerana dianggap sebagai warisan dan tradisi yang mempunyai nilai dan falsafah tersendiri menjelang hari lebaran. Walaupun tanpa tambahan warna dan seni bina yang kreatif, panjut tradisi ini tetap mempunyai peminat tersendiri dan mendapat sambutan yang menggalakkan di kawasan itu.\nSebagaimana yang dilaporkan oleh Noor Hidayah Tanzizi dalam Harian Metro pada 20 April 2022, salah satu faktor mengapa panjut buluh masih mendapat perhatian adalah kerana kehadiran suasana tradisional setelah sumbunya dinyalakan. Buluh yang digunakan adalah daripada jenis buluh kuning atau buluh betung. Bagi penduduk tempatan yang menjadikan pembuatan panjut buluh sebagai hasil sampingan, ternyata pendapatan yang diperolehi agak lumayan. Hal ini kerana sebatang buluh panjut boleh dijual antara harga RM25 sehingga RM35 berdasarkan bilangan sumbu sama ada enam atau sembilan sumbu.\nWalau bagaimanapun, proses pembuatannya tidaklah semudah seperti yang disangkakan kerana pembuat perlu masuk ke dalam hutan untuk mendapatkan buluh-buluh yang berkualiti. Dengan menggunakan buluh-buluh sedemikian, maka panjut boleh digunakan selama bertahun-tahun kerana sifatnya yang tahan lama.\nPanjut di Kuala Kangsar sekitar tahun 1960-an sebagaimana yang dicatatkan oleh Mokhtar Petah dalam penulisannya yang tersiar dalam Berita Harian pada 18 Mac 1961 tidak sekadar menghiasi halaman rumah dengan pelita, sebaliknya panjut menjadi satu temasya besar apabila masyarakat mengambil kesempatan untuk berada di luar rumah sama ada bersiar-siar, berpakaian baharu dan bertegur sapa.\nGolongan pemuda dan pemudi yang masih bujang mengambil peluang untuk berkenalan antara satu sama lain, manakala para amil pengutip zakat berkunjung ke rumah-rumah untuk memenuhi hajat penduduk yang ingin membayar zakat fitrah. Menurut Mokhtar Petah, berdasarkan tinjauannya dalam penulisan tersebut, budaya sedemikian telah dipupuk kira-kira 50 tahun sebelumnya. Hal ini bererti tradisi tersebut mungkin telah dimulakan secara besar-besaran dan menjadi acara tahunan sekitar awal tahun 1900-an.\nPanjut pernah mengalami zaman gelap atau duka pada tahun 1967 apabila banjir besar melanda Kuala Kangsar. Pada masa itu, lokasi-lokasi utama panjut seperti Kota Lama, Bukit Chandan dan Talang yang terkenal dengan dentuman meriam dan nyalaan pelita menjadi sunyi sepi dan gelap gelita kerana air dari Sungai Perak melimpah dan membanjiri kawasan-kawasan tersebut.\nPeristiwa suram yang berlaku pada tahun 1967 itu tercatat dalam Berita Harian yang disiarkan pada 26 Januari 1967. Kini panjut merupakan sebahagian daripada sejarah dan terakam sebagai satu daripada budaya Melayu yang kaya dengan falsafah tradisi dan sarat dengan kehalusan seni." "P. Radhi Dendang Salam Hari Raya, Lagu Raya Terbaharu Jelmaan P. Ramlee\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Setelah mula dikenali dan diminati ramai dengan lagu yang diberikan nafas baharu, iaitu Tiara dan Suatu Masa, penyanyi yang dikatakan mempunyai suara yang mirip dengan suara Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, iaitu P. Radhi muncul mendendangkan lagu Hari Raya ciptaan baharu yang berjudul Salam Hari Raya.\nMelodi ciptaan komposer dan pemuzik AR Wanz dan lirik karya Keon membawa P. Radhi semakin menghampiri kesamaan dengung suaranya dengan P. Ramlee. Radhi yang merupakan penyanyi eksklusif di bawah syarikat rakaman Luncai Emas Sdn. Bhd. (Luncai Emas) berasa amat teruja untuk mendendangkan lagu Hari Raya yang baharu selain lagu Hari Raya yang diberikan nafas baharu sahaja.\n\u201cAlhamdulillah, akhirnya terbit juga lagu asal pertama saya daripada Luncai Emas. Jutaan terima kasih kepada syarikat milik Dato\u2019 M. Nasir ini kerana percaya kepada saya untuk mendendangkan lagu tersebut dan tidak lupa juga kepada pasukan di belakang tabir yang menjayakannya,\u201d kata P. Radhi.\n\u201cKita perlu akur sebenarnya bahawa Aidilfitri merupakan hari kemenangan dan hari kebesaran untuk umat Islam yang berjaya mengharungi dugaan Ramadan. Bagi saya, Aidilfitri juga dilihat sebagai cerminan untuk kita menilai jika ada kemajuan atau tidak dari segi kehidupan dan amalan di sepanjang Ramadan. Justeru, kita perlu meraikan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan,\u201d kata P. Radhi lagi.\nDi samping itu, Wanz atau nama sebenarnya, Mohd. Ridzuan Taib memberitahu idea lagu Salam Hari Raya terhasil daripada mimpi beliau tentang P. Ramlee yang sedang mengalunkan sebuah irama sambil memetik gitar. Namun begitu, apabila Wanz tersedar, beliau tidak dapat mengingati secara keseluruhan melodi dalam mimpinya itu. Beliau cuma dipandu oleh sekelumit saki-baki ingatan dan terus melengkapkan melodi tersebut.\n\u201cGaya lirik lagu Salam Hari Raya memfokuskan kepada gaya penulisan dan sebutan cara lama. Di samping itu, inti pati maksudnya pula mengagungkan kebesaran Allah SWT dan meraikan kemenangan umat Islam melawan nafsu diri. Hal itulah yang menjadi tumpuan saya tentang makna Hari Raya Aidilfitri ini,\u201d ujar Keon yang telah menghasilkan lagu-lagu seperti Pertama Ramadhan Ini nyanyian Fotograf, Menyantun Kasih (Siti Nordiana) dan Kejoraku Bersatu (Search).\nKini lagu Salam Hari Raya sudah boleh distrim bermula 14 April lalu menerusi semua peranti seperti Apple Music, Joox, Spotify dan Itunes Store. Sebuah video lagu turut dilancarkan pada hari yang sama di Youtube Luncai Emas.\nLuncai Emas sebagai penerbit dan pengedar tunggal lagu hari raya baharu ini ke pasaran digital mendedikasikan lagu Salam Hari Raya kepada seluruh masyarakat Malaysia bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan berharap agar lagu ini dapat menarik minat pelbagai kaum terutamanya generasi muda.\nSALAM HARI RAYA\nNyanyian: P. Radhi\nBergema takbir\ndi hening pagi Syawal\nsayu menyentuh hati\nmendengarnya.\nKulihat langit\nsemakin bersinar cahaya\nkurasa bersyukur\ndapat nikmat hari raya.\nHari mulia\nhari menang kita\ntertewas nafsu diri\nkita rai di Aidilfitri.\nSalam hari raya\nsegala puji Maha Esa\nampun dipinta\nhari mulia.\nBersihkanlah diri\nzahir dan batin terpuji\nsemoga kita dalam\nrestu Ilahi.\nHak cipta lagu/lirik: Luncai Emas Sdn. Bhd." "Iftar Perdana USIM Meriah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNik Nur Aein Nik Hud\nNilai \u2013 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan program Iftar Perdana pada 17 April 2023 dengan 2500 pek makanan bernilai RM22 500 diedarkan kepada mahasiswa, staf serta penduduk di sekitar Nilai yang hadir bagi memeriahkan program Iftar Perdana di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, USIM baru-baru ini.\nMenurut Profesor Dato\u2019 Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM, program Iftar Perdana pada tahun ini merupakan anjuran tahunan peringkat universiti dengan tujuan utamanya untuk mengukuhkan jalinan kemesraan antara semua komposisi yang terlibat. Walaupun sebelum ini sudah ada program iftar harian sepanjang Ramadan, namun dengan penganjuran Iftar Perdana ini akan lebih mengeratkan jalinan silaturahim kerana melibatkan lebih ramai pihak.\n\u201cBulan Ramadan bukanlah bulan yang hanya menahan diri daripada lapar dan dahaga sahaja, namun bulan Ramadan merupakan bulan yang mendidik kita supaya terus istiqamah melakukan amalan kebajikan seperti bersedekah dan menjamu makan. Alhamdulillah, penganjuran Iftar Perdana ini dapat membuka peluang kepada umat Islam untuk berinfaq sehingga dapat menyediakan makanan percuma sebanyak 2500 pek kepada para pelajar dan warga USIM yang hadir pada hari ini. Amalan ini merupakan antara sifat terpuji yang diajarkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW,\u201d jelas Profesor Dato\u2019 Ts. Dr. Sharifudin.\nSeterusnya, beliau mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih dan menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program Iftar Perdana ini, terutamanya kepada Pusat Islam USIM dan penyumbang terbesar program, iaitu Bank Islam, Pusat Wakaf dan Zakat USIM, Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM serta Jabatan Bendahari USIM.\nDalam majlis yang sama, Dr. Muhamad Hafiz Saleh, Pengarah Pusat Islam USIM berkata, program Iftar Perdana pada tahun ini amat meriah di samping kadar kehadiran pengunjung yang tinggi berbanding dua tahun sebelumnya yang terkesan dengan pandemik COVID-19 yang melanda negara. Rentetan itu, majlis iftar secara besar-besaran tidak boleh dilakukan.\nJelas Dr. Muhamad Hafiz Saleh lagi, sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini, pelbagai pengisian kerohanian diadakan di Kompleks Islam Tuanku Muhriz USIM merangkumi aktiviti iftar harian, solat tarawih, qiamullail bersama orang Yamin (Tawasul), tadarus al-Quran dan tazkirah Zuhur bagi meningkatkan kefahaman serta penghayatan dalam bulan Ramadan.\n\u201cKami di Pusat Islam USIM hanya mengharapkan agar para mahasiswa dan orang awam dapat mengekalkan momentem ibadah bukan hanya dalam bulan Ramadan sahaja, bahkan dalam bulan-bulan yang seterusnya,\u201d ujar Dr. Muhamad Hafiz Saleh.\n10 malam terakhir Ramadan diserikan dengan program qiamullail dan sahur secara berjemaah bersama-sama orang Yaman (tawasul) di samping para mahasiswa dan warga sekitar yang turut hadir bagi memeriahkan majlis. Turut hadir ke majlis Iftar Perdana ini ialah Pengurus Bank Islam Cawangan Nilai, Tuan Muhamad Asyraf Zazali Mustafha, pendakwah selebriti terkenal, Ustazah Asma Harun, imam terawih, Sheikh Karim Omar Al-Makki serta para pegawai kanan USIM." "Tradisi Malam Tujuh Likur Semarakkan Sambutan Aidilfitri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBahang kemeriahan sambutan Aidilfitri di Malaysia semakin terasa menjelang minggu terakhir bulan Ramadan. Suasana sesak bukan hanya terlihat di jalan raya tetapi juga di pusat membeli-belah dan bazar Aidilfitri di seluruh negara. Tambahan pula, masyarakat teruja untuk melakukan persiapan sambutan Aidilfitri setelah dua tahun tidak dapat pulang ke kampung halaman masing-masing.\nSelain kemeriahan suasana membeli-belah, deretan dan limpahan cahaya yang menerangi laman rumah masing-masing sama ada daripada pelita buluh atau panjut dan lampu raya yang dipasang turut menandakan kita semakin hampir dengan Aidilfitri. Limpahan cahaya ini juga dikaitkan dengan malam tujuh likur yang merupakan antara tradisi dalam budaya masyarakat Melayu. Namun, tradisi ini semakin dilupakan kerana dikatakan menyimpang daripada akidah dan ajaran Islam.\nTradisi malam tujuh likur ini merupakan tradisi yang dilakukan oleh masyarakat Melayu sejak turun-temurun. Sewaktu zaman tahun 90-an dan sebelumnya, malam tujuh likur disambut meriah oleh orang Melayu terutamanya mereka yang tinggal di kampung. Malam ini merupakan tradisi warisan orang Melayu dan tiada dalam budaya Islam. 10 hari terakhir bulan Ramadan merupakan antara tempoh yang sangat istimewa bagi orang Islam kerana pada tempoh masa inilah bakal munculnya satu malam yang nilainya sama seperti seribu bulan, iaitu Lailatul Qadar.\nMalam ini menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda bagi mereka yang beribadah sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: \u201cSesungguhnya bulan ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, di dalamnya terdapat malam di mana amalan ibadat yang dilakukan pada malam tersebut lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam tersebut sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara tersebut kecuali orang-orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah SWT.\u201c (Hadis riwayat Ibnu Majah)\nTujuh likur membawa maksud malam yang ke-27 dalam bulan Ramadan. Malam tujuh likur merupakan tradisi wajib pada suatu masa dahulu dalam tradisi orang Melayu di penghujung bulan Ramadan. Bahkan, likur itu sendiri dikatakan membawa maksud antara malam 20 hingga malam 30 Ramadan. Malam tujuh likur turut merujuk kepada tradisi memasang pelita atau panjut.\nDi Sarawak, tradisi memasang pelita buluh menjelang minggu akhir Ramadan ini dipanggil sebagai \u201cbertuntung\u201d dan amalan ini juga merupakan antara tradisi masyarakat Mesir. Di Mesir, masyarakat memasang lantera atau lampu yang dipanggil \u201cfanoos\u201d yang menerangi jalan-jalan di negara itu bermula dari hari pertama dalam bulan Ramadan lagi. Menurut Nurul Husna Mahmud dalam penulisannya yang bertajuk Sambut Malam Tujuh Likur, adat itu masih berlangsung sehingga hari ini apabila setiap pemilik rumah mahupun kejiranan di negara Tebing Barat itu akan mengutip duit bagi membeli lampu berkenaan pada setiap tahun yang mempunyai pelbagai bentuk serta warna.\nTerdapat pelbagai pendapat dan cerita tentang permulaan tradisi tersebut di Mesir. Antara yang paling popular berkaitan tradisi tersebut ialah mengenai Khalifah Empayar Fatimiyah, Al Hakim Bi-Amr Illah yang mengarahkan semua sheikh masjid menggantung lilin bagi menerangi jalan-jalan di Kaherah sewaktu tibanya bulan Ramadan.\nBermula 10 malam terakhir Ramadan, terutamanya dua atau tiga hari sebelum menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, orang Melayu akan mula memasang pelbagai pelita atau panjut bagi menerangi halaman rumah dan jalan. Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Yusmilayati Yunos menyatakan bahawa perbuatan memasang pelita pada malam tujuh likur di jalan-jalan menuju ke masjid adalah untuk menerangi laluan jalan bagi kemudahan penduduk kampung pada masa dahulu.\nPada masa dahulu, di kampung-kampung masih belum mempunyai lampu jalan raya seperti sekarang dan keadaannya gelap gelita. Terdapat pelbagai jenis pelita atau panjut yang digunakan oleh orang Melayu pada masa dahulu. Antaranya termasuklah pelita minyak tanah yang diperbuat daripada tin yang tahan lama kegunaannya, pelita minyak tanah yang diperbuat daripada buluh dan pelita minyak tanah daripada plastik yang beraneka warna di pasaran.\nSeiring dengan perubahan zaman yang semakin canggih, pelita elektrik yang dijana oleh tenaga bateri boleh mengecas semula atau tenaga solar menjadi pilihan masyarakat terutamanya bagi masyarakat yang tinggal di kawasan bandar. Pelita-pelita tersebut akan disusun secara kreatif pada buluh dan tiang untuk menerangi halaman rumah atau lokasi tanah lapang. Di samping itu, masyarakat kini turut menggunakan lampu diod pemancar cahaya (LED) untuk menerangi halaman rumah masing-masing pada malam-malam penghujung Ramadan.\nHakikatnya, suasana malam penghujung Ramadan yang dilimpahi cahaya sangat cantik dan menambahkan kemeriahan sambutan Aidilfitri walaupun menggunakan apa-apa jenis pelita. Suasana tersebut juga membangkitkan lagi semangat untuk menyambut hari raya kepada masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak yang teruja dengan susunan pelita yang cantik dan kreatif.\nTerdapat juga sesetengah kawasan yang masyarakatnya membina pelbagai jenis replika gergasi seperti berbentuk masjid dan ketupat dengan tulisan selamat hari raya sebagai latar belakangnya serta diterangi pelita panjut. Selain itu, ada sesetengah kampung juga menghiasi pintu gerbang kampung masing-masing dengan susunan cahaya pelita bagi menambah kemeriahan pada penghujung bulan Ramadan.\nDalam usaha mengembalikan tradisi memasang pelita, kerajaan negeri Terengganu mengambil inisiatif menerusi Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu menganjurkan Pelita Raya Beautiful Terengganu bertempat di Kampung Budaya Terengganu (KBT), Kompleks Muzium Negeri Terengganu yang merupakan tahun kedua penganjurannya pada tahun 2022. Tujuannya adalah untuk mengembalikan nostalgia dan cara hidup generasi terdahulu dan bukannya mencontohi kepercayaan agama lain.\nSepanjang program, para pengunjung berpeluang melihat pelbagai hiasan pelita raya yang mengindahkan rumah-rumah tradisional di perkampungan tersebut seperti jambatan ikonik Tasik Kenyir, rumah bot, wau dan lain-lain lagi. Penganjurannya bukan sahaja menonjolkan Terengganu sebagai destinasi pelancongan Ramadan, bahkan turut mempromosikan Kampung Budaya Terengganu sebagai salah satu destinasi dan produk pelancongan negeri tersebut.\nTradisi malam tujuh likur merupakan warisan generasi terdahulu yang perlu diteruskan walaupun tidak dinyatakan dalam Islam. Amalan ini juga sebenarnya secara tidak langsung mampu merapatkan silaturahim antara masyarakat ketika bersama-sama melakukan aktiviti tersebut. Amalan ini tiada salahnya, namun jika diniatkan dengan iktikad tertentu seperti untuk menjemput malaikat masuk ke rumah, maka hal tersebut tidak dibenarkan kerana bertentangan dengan ajaran Islam.\nDi samping itu, amalan ini sebenarnya boleh dilakukan dan tidak menjadi sebab dan penghalang kepada umat Islam untuk meninggalkan amal ibadat kerana di penghujung hari-hari terakhir Ramadan, kita seharusnya lebih banyak mendekatkan diri kepada Allah SWT. Malam tujuh likur merupakan antara tradisi unik dalam bulan Ramadan bagi masyarakat Malaysia yang dilihat mampu menjadi antara produk pelancongan untuk menarik para pelancong berkunjung ke negara kita selain menyemarakkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri." "Kembara Perpadu[email\u00a0protected] Kukuhkan Jati Diri dan Semangat Perpaduan Mahasiswa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Kementerian Perpaduan Negara melancarkan program Kembara [email\u00a0protected] pada 17 April lalu di Universiti Teknologi Mara, Kampus Puncak Alam, Selangor (UiTM Puncak Alam).\nKetua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dato\u2019 Indera Noridah Abdul Rahim yang mewakili Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Anak Dagang hadir menyampaikan ucapan dan seterusnya menyempurnakan pelancaran program tersebut.\nMenurut Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dato\u2019 Indera Noridah Abdul Rahim, program Kembara [email\u00a0protected] yang dilancarkan pada hari tersebut merupakan antara program yang telah dirancang berdasarkan kepada Kerangka Perpaduan Malaysia MADANI.\n\u201cMahasiswa merupakan antara golongan penting yang bertindak sebagai ejen agenda perpaduan nasional di negara kita yang berbilang kaum. Oleh sebab itu, program Kembara [email\u00a0protected] merupakan program pertama yang dilancarkan di bawah program flagship kementerian, iaitu Kembara Perpaduan Malaysia,\u201d ujar Dato\u2019 Indera Noridah Abdul Rahim yang membacakan teks ucapan perasmian ketika majlis pelancaran program tersebut.\nDato\u2019 Indera Noridah Abdul Rahim turut berkata, program itu memberi fokus kepada program yang melibatkan mahasiswa berteraskan tiga kluster utama Kembara Perpaduan Malaysia MADANI, iaitu Semarak Kenegaraan, Semarak Perpaduan dan Program Komuniti Rahmah.\nTambah beliau lagi, program ini berupaya dijadikan sebagai platform bagi mahasiswa untuk memperkasakan semangat patriotisme, saling mengeratkan hubungan toleransi antara kaum dan menyemai semangat kebersamaan demi kemajuan negara.\n\u201cSaya amat berharap supaya institusi-institusi pengajian tinggi sama ada awam atau swasta, politeknik, kolej matrikulasi atau Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dapat menjadi tapak integrasi dalam memupuk perpaduan dan kesepaduan masyarakat majmuk di negara kita termasuklah menganjurkan pelbagai program berkaitan perpaduan semasa Minggu Perpaduan Negara yang bakal berlangsung dari 20 hingga 26 Mei 2023 depan,\u201d kata Dato\u2019 Indera Noridah Abdul Rahim.\nProgram Chit Chat Belia yang bertemakan \u201cMADANI: Bersediakah Kita?\u201d turut diadakan semasa majlis pelancaran tersebut dengan dibarisi oleh panel seperti Pow Mei Foong (Atlet Bola Jaring Kebangsaan), Ahmad Danial\u00a0 Nor Amin (Mahasiswa Jurusan Undang-undang) dan Mohammad Imral Aqil Mohd Salehuddin (Penyampai Radio).\nProgram ini disertai lebih 2000 orang mahasiswa termasuklah penyertaan dalam talian yang terdiri daripada ahli Sekretariat Rukun Negara yang merupakan beberapa pelajar daripada institut pengajian tinggi dari seluruh Malaysia. Program yang berlangsung secara santai dan penuh meriah ini merupakan kerjasama UiTM Puncak Alam dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).\nMajlis pelancaran dan program Chit Chat Belia tersebut turut disiarkan secara dalam talian melalui Facebook Kementerian Perpaduan Negara di https://www.facebook.com/PerpaduanNegara/videos/237715995469954." "\u201cWarna-Warni\u201c Iklan Raya 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSaban tahun, tayangan iklan menjelang hari raya dinantikan oleh khalayak ramai. Iklan-iklan ini ada yang dianggap jauh lebih baik berbanding drama dan filem biasa kerana persembahannya yang bermutu serta mesej pesanannya yang lebih berkesan. Tahun 2023 ini menyaksikan sejumlah iklan Hari Raya Aidilfitri dijayakan oleh barisan para pelakon terkenal tanah air yang bukan sekadar menyerikan, bahkan menguatkan lagi perwatakan serta jalan cerita.\nPelbagai tema disajikan kepada penonton merangkumi berbaur sedih dan lucu demi menghantar serta menonjolkan mesej pengertian Syawal. Antara tema hari raya yang paling banyak ialah pertembungan generasi yang berbeza serta adab menyantuni orang tua.\nIklan hari raya Petronas pada tahun 2023 ini dengan tajuk Dilema Irama membawakan tema \u201cAkar untuk Masa Depan\u201d. Iklan ini berpusat kepada konflik pertembungan irama antara dua generasi. Nadim, seorang pelajar jurusan muzik di sebuah universiti dilatih bermain gambus oleh ayahnya, Man Gambus, iaitu seorang penggiat muzik tradisional yang mempunyai kumpulan muzik sendiri. Nadim sebagai seorang anak Generasi Z lebih akrab dengan irama muzik pop yang disukai golongan anak muda. Nadim memulakan iklan ini dengan persoalan \u2018\u2019Tak ada lagu lainkah? Asal raya sahaja, lagu tradisional. Orang tak dengarlah lagu tradisional ini.\u2019\u2019\nPertelingkahan mula tercetus apabila Nadim dengan berat hati bersetuju untuk bermain gambus dalam kumpulan muzik tradisional bapanya pada sebuah majlis berbuka puasa. Dalam majlis tersebut, tiba-tiba Nadim berhenti bermain kerana malu dengan seorang rakan universitinya, Yi Ling yang turut hadir. Yi Ling merupakan pesaing rapat Nadim di universiti, sering membuat persembahan dalam acara dan temasya besar serta memenangi semua pertandingan muzik. Nadim berasa tercabar kerana menganggap Yi Ling akan memperlekehkannya kerana beliau cuma membuat persembahan dalam majlis berbuka puasa sahaja.\nPersembahan itu berakhir dengan persengketaan antara Nadim dengan ayahnya. Namun hakikatnya, Yi Ling berasa kagum kerana Nadim mampu bermain alat muzik tradisional dengan baik. Pada pandangan Yi Ling, tidak semua orang mempunyai \u201cjiwa\u201d untuk bermain alat muzik tradisional. Bahkan Yi Ling meminta Nadim mengajarnya bermain gambus serta menyatakan bahawa ayahnya pasti berasa bangga kerana Nadim meneruskan legasi dan tradisi muzik tradisional. Soalan Nadim pada awal iklan terjawab. Orang ramai masih mahu mendengar lagu tradisional.\nPerang dingin antara Nadim dengan ayahnya berlangsung tanpa sepatah kata, hanya sebuah lagu tradisional yang bersuara. Bait-bait lirik \u201cBintang di langit boleh dibilang, resan jiwanya lenyap tak nampak\u201d cukup untuk menggambarkan impian yang Nadim kejar selama ini dan perkara yang sedia ada di depan mata tetapi tidak dihargainya. Sebagai tanda berdamai dengan ayahnya, Nadim menggubah sebuah lagu raya berirama tradisional.\nIklan raya Petronas 2023 ini menggunakan cogan kata \u201cMekar kerana Akar\u201d dan genre muzik tradisional menjadi wadah mengeratkan jurang antara generasi. Apatah lagi watak Man Gambus dilakonkan oleh Roslan Madun yang sememangnya tersohor sebagai penggiat syair serta lagu rakyat. Arus kemodenan yang membawa teknologi terkini tidak akan menghilangkan irama muzik tradisional, sebaliknya dapat menyuburkan dan menyebarluaskan lagi genre tersebut selagi akar dalam diri tetap kukuh.\nPertembungan antara nilai-nilai lama dengan nilai-nilai baharu turut dihidupkan dalam iklan hari raya Saji yang bertajuk Podeh-Podeh Manih. Iklan ini memanfaatkan paparan gaya hidup terkini dengan menampilkan watak seorang pempengaruh bernama Ilham (lakonan Fimie Don) yang menjadi pengulas makanan dan sering membuat siaran langsung menerusi platform TikTok. Pada suatu hari, Ilham mengulas menu sambal paru yang dihantar oleh seseorang dan rasa sambal tersebut membawa penonton kepada adegan imbas kembali.\nAyah Ilham (lakonan Faizal Hussein) hebat memasak dan sering mengambil tempahan secara kecil-kecilan. Menunya yang paling istimewa ialah sambal paru daripada resipi peninggalan arwah isterinya. Ilham sebagai seorang anak muda yang berwawasan mencadangkan supaya ayahnya membesarkan perniagaan dan meluaskan pasaran perniagaan sambal paru. Beliau cuba memanfaatkan platform media sosial untuk memperkenalkan sambal paru ayahnya tetapi ayahnya enggan memberi kerjasama.\nPertengkaran tercetus antara dua anak-beranak, seorang kehilangan ibu dan seorang lagi kehilangan isteri. Ketegangan akibat kehilangan ini menonjolkan ego kedua-duanya. Si ayah berasa pembaharuan yang dicadangkan oleh anaknya tidak perlu. Beliau mahu kekal dalam nostalgia mengenang resipi peninggalan arwah isterinya.\nWalau bagaimanapun, Ilham berniat baik dan berasa nostalgia itu dapat dikekalkan dengan memanfaatkan teknologi terkini. Beliau mahu maju ke hadapan dan mahu kehidupan mereka lebih senang menerusi dialognya yang mahu menggantikan vespa lama ayahnya. Tentu sahaja iklan ini berakhir dengan baik apabila si ayah akhirnya akur untuk menyantuni perubahan zaman. Ilham sebagai anak pula mempamerkan keutuhan peribadi menerusi dialognya yang berkesan, \u201cIlham ada 2 juta followers\u00a0tetapi Ilham tak ada Abah!\u2019\u2019.\nOrang tua dan kenangan turut menjadi tema beberapa iklan raya pada tahun ini. Misalnya iklan dengan tema Alzheimer daripada Taylor\u2019s University yang bertajuk Rendang Tok.\u00a0Zaki merupakan cucu kepada Chef Lokman yang terkenal dengan rancangan memasak dalam siaran televisyen pada suatu masa dahulu. Zaki ingin menghidupkan semula slot memasak datuknya menerusi platform TikTok.\nPenonton diperlihatkan bagaimana Zaki menyuruh datuknya menggayakan semula aksinya sebagai chef dalam siaran televisyen dengan memasak resipi istimewa beliau, iaitu rendang tok. Namun begitu, si datuk lakonan Nam Ron bukan lagi chef yang tangkas seperti dahulu. Pergerakan mudah seperti memotong bawang dan mengingati bahan masakan sudah tidak dapat dilakukannya. Apakah Zaki sebagai anak muda yang berusaha mencari isi kandungan (content) untuk media sosialnya akan berputus-asa melayani kerenah si datuk? Ternyata tidak.\nZaki seorang cucu yang baik dan penyabar. Sebenarnya beliau mengetahui tentang penyakit Alzheimer yang dihidapi datuknya dan berusaha mencari maklumat tentang penyakit ini. Zaki sanggup bersusah-payah membantu datuknya mengatasi masalah hilang daya ingatan supaya tidak melarat. Semua ini dilakukan kerana rasa kasih dan sayang kepada datuknya. Iklan Rendang Tok sarat dengan mesej nilai kemanusiaan, sekali gus menghantar saranan ikhtiar hidup dan ilmu bantu.\nSebuah lagi iklan yang berpusat kepada watak orang tua ialah iklan hari raya Etiqa yang bertajuk Panorama Abah Den lakonan Dato\u2019 Ahmad Tamimi Siregar dan Iedil Putra. Si anak yang bernama Jamal menetap di Kuala Lumpur membawa abahnya yang tinggal di kampung untuk menyambut hari raya bersama-samanya di bandar. Abah sentiasa mengambil video dengan telefon bimbitnya untuk dikongsi kepada kawan-kawannya di rumah jagaan orang-orang tua yang sunyi dan ingin berasa dihargai. Mereka tidak dipedulikan oleh sesiapa pun dan tidak boleh bergerak ke mana-mana.\nSi anak pada mulanya tidak faham dan menganggap hal tersebut renyah seperti dialognya, \u201cSini bukan macam dekat kampung. Mana boleh suka-suka berhenti sahaja\u201d.\u00a0Tuntutan hidup yang tinggi di bandar menyebabkan beliau tidak memberi perhatian terhadap perkara-perkara kecil yang mungkin menjadi nostalgia besar kepada ayahnya. Jamal akhirnya memahami apabila Abah mengucapkan \u201cBiar mereka rasa, walaupun raya bersendiri tetapi mereka tidak sunyi\u201d. Abah menjalankan peranannya sebagai anggota masyarakat yang prihatin dan mempunyai semangat setiakawan yang tinggi.\nPujian harus diberikan kepada para penulis skrip dan pengarah iklan yang bertungkus lumus memberikan hidangan siaran iklan hari raya yang terbaik kepada masyarakat. Perbezaan nilai dan jurang antara generasi berjaya dirapatkan menerusi kasih sayang dan nilai kemanusiaan yang tinggi. Teknologi terkini dimanfaatkan untuk mencipta kebahagiaan dan mengeratkan hubungan kekeluargaan. Lebih indah lagi, tidak ada hari lain yang lebih baik bagi menzahirkan semua ini jika bukan pada Hari Raya Aidilfitri." "Polis Evo 3 di Pawagam Seluruh Negara 25 Mei Depan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Bermula dengan filem Polis Evo pada tahun 2015 yang berjaya mengumpul RM18 juta dan Polis Evo 2 (2018) yang berjaya meraih RM25 juta, kini filem francais kepolisan \u201cpecah panggung\u201d ini diteruskan dengan Polis Evo 3 pula.\nSelepas lima tahun menanti, para peminat bakal menyaksikan Polis Evo 3 bermula pada 25 Mei depan. Filem sekuel ketiga ini mengembalikan tonggak utama, iaitu Shaheizy Sam sebagai Inspektor Khai dan Zizan Razak sebagai Inspektor Sani. Nora Danish dan Eyka Farhana turut kembali sebagai Anis dan Yati, iaitu adik-adik kepada Inspektor Sani. Kamaliah Mat Dom juga kembali tampil sebagai ibu mereka bertiga.\nTurut membintangi filem ini ialah Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan, Ben Amir, Wanna Ali, Zulin Aziz, Ezzaty Abdullah, Iman Corrine Adrienne, Datin Fadilah Mansor, Dato\u2019 Afdlin Shauki, Farali Khan, Danial Zaini, Daniel Cheng, Michael Ang, Fouziah Gous serta Radin, penyampai radio ERA.\nSyafiq Yusof, pengarah muda \u201cpecah panggung\u201d dipilih untuk menggalas tugas menghasilkan filem Polis Evo 3 yang bakal menjadi ikonik. Dihasilkan oleh rumah produksi BlackFlag, francais filem Polis Evo buat pertama kali menggabungkan tiga buah penerbit besar Malaysia, iaitu Astro Shaw, Skop Productions Sdn. Bhd. (Skop Productions) dan TGV Pictures.\nPada 13 April 2023 lalu telah berlangsung Majlis Pelancaran Polis Evo 3 dan Iftar di Six in the City, Petaling Jaya yang turut dihadiri oleh Penerbit Eksekutif Polis Evo 3 yang juga Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad; Pengarah Urusan Skop Productions, Datuk Yusof Haslam; Ketua Pegawai Eksekutif TGV Pictures & TGV Cinemas, Tan Lay Han serta Syafiq Yusof, Joe Soh, Shaheizy Sam, Zizan Razak, Nora Danish, Fauzi Nawawi, Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle dan Fezrul Khan.\nMenurut Raja Jastina, Polis Evo 3 menampilkan lebih banyak aksi lasak, dramatik dan mengembangkan \u201ckeluarga Polis Evo\u201d menerusi watak-watak baharu untuk bersama-sama dalam ikatan persaudaraan antara Inspektor Khai dengan Inspektor Sani.\n\u201cPolis Evo 3 turut mengalu-alukan rakan penerbit baharu seperti Skop Productions dan TGV Pictures dalam memperkukuhkan lagi strategi penerbitannya. Kami juga akan tampil dengan rangkaian promosi kreatif menerusi kolaborasi bersama-sama beberapa jenama PUBG MOBILE serta video pendek khas, bersama-sama pempengaruh media sosial bertaraf antarabangsa seperti Sofyank, selain inisiatif kreatif dengan rakan-rakan pempamer,\u201d jelas Raja Jastina.\nTambah beliau lagi, Astro Shaw berharap kemunculan semula francais filem Polis Evo 3 selepas lima tahun dapat mengujakan para peminat industri filem tempatan dan luar negara.\nMenurut Datuk Yusof Haslam, sebagai penerbit dan pengkarya seni, Skop Productions mahu menyajikan sesuatu yang berbeza dan sekali gus mampu menepati cita rasa penonton. Di samping itu, beliau yakin terhadap kemampuan Syafiq Yusof untuk mengarahkan filem Polis Evo 3 menjadi sebuah filem luar biasa dan berharap filem ini berupaya mencipta fenomena yang tersendiri serta memberi kejutan dalam industri perfileman Malaysia.\nLagu tema atau OST Polis Evo 3, iaitu Ayuh dicipta oleh komposer legenda rap terkenal, Malique atau dikenali sebagai Mr. General bersama-sama Adeep Nahar. Lirik dihasilkan oleh Malique, Kmy Kmo dan Aman Ra. Lagu Ayuh didendangkan oleh Kmy, Aman, Ernie dan Malique dalam majlis tersebut.\nPolis Evo 3 mengisahkan tentang Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi terbaharu. Pada sekuel ini, mereka disertai oleh Inspektor Dani (Syafiq Kyle), Inspektor Julie (Farali Khan) dan Inspektor Dell (Fezrul Khan) yang mempunyai kepakaran masing-masing. Keadaan bertambah rumit apabila sasaran seterusnya adalah Inspektor Khai. Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila mereka menyedari bahawa suspek yang diburu ada kaitan dengan kisah silam Inspektor Khai.\nTiket filem Polis Evo 3 boleh dibeli bermula pada 11 Mei 2023 menerusi seluruh laman sesawang pawagam. Manakala tayangan awal pula akan berlangsung pada 24 Mei 2023. Dalam majlis yang sama, Astro Shaw dengan kerjasama permainan mudah alih popular PUBG MOBILE melancarkan acara rentas jenama dalam permainan PUBG MOBILE x Police Evo 3. Pemain akan ditawarkan pek suara khas Inspektor Khai dan Inspektor Sani berdasarkan dialog-dialog daripada filem berkenaan. Yang menariknya, semua dialog disumbangkan sendiri oleh Shaheizy Sam dan Zizan Razak." "Pesta Kaamatan Wadah Pupuk Perpaduan Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTuaran \u2013 Sambutan acara kebudayaan seperti Pesta Kaamatan mampu menjadi wadah untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya terutamanya di negeri Sabah.\nKetua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor berkata sambutan perayaan ini berperanan untuk mempromosikan kesepaduan sosial dan membantu membina jambatan persefahaman antara masyarakat pelbagai etnik melalui tarian, muzik serta pakaian tradisional.\n\u201cKerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada sambutan dan program kebudayaan serta keagamaan kerana percaya program kebudayaan dapat memantapkan lagi perpaduan masyarakat yang berbilang kaum serta memberi peluang untuk kita saling mengenali, memahami serta menghargai adat budaya suku kaum masing-masing,\u201d katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan.\n\u00a0\nBeliau juga berkata Pesta Kaamatan ini bukan sahaja untuk menyatakan rasa kesyukuran atas hasil tuaian yang baik tetapi juga memberi peluang kepada saudara mara untuk berkumpul dan mengeratkan silaturahim.\nTambahnya, semangat persaudaraan, persahabatan dan perpaduan yang selama ini menjadi amalan hidup perlu terus diperkukuh dan dimantapkan lagi sesuai dengan semangat Malaysia Madani melalui perayaan ini.\n\u201cSepanjang tempoh sebulan sambutan pesta ini hingga acara kemuncak pada 30 dan 31 Mei, pelbagai acara akan diadakan dalam pelbagai peringkat di seluruh negeri termasuklah di Sarawak dan di Semenanjung Malaysia,\u201d katanya.\nBeliau menyeru semua pihak untuk sama-sama menyertai dan menjayakan sambutan Tadau Kaamatan di peringkat daerah, kampung mahu pun organisasi masing-masing dan berharap semangat perayaan Pesta Kaamatan ini akan terus dihayati demi kestabilan, keamanan, persahabatan serta kemakmuran negeri dan rakyat pada keseluruhannya.\nBeliau turut menyarankan agar kumpulan etnik dan subetnik di seluruh Sabah meningkatkan usaha untuk mempromosi dan mempamerkan budaya masing-masing serta berbangga dengan identiti budaya yang diwarisi sejak turun-temurun.\nMajlis Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2023 ini turut disiarkan secara dalam talian melalui Facebook TV Sabah." "Program Merakyatkan Parlimen Warisan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Parlimen Malaysia akan menganjurkan Hari Terbuka Parlimen Malaysia bertemakan \u201cMerakyatkan Parlimen, Warisan Negara\u201d pada 6 dan 7 Mei ini bertempat di Kompleks Parlimen Malaysia bermula dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.\nSekretariat Hari Terbuka Parlimen Malaysia (Publisiti), Encik Muhamad Zhafry Hakim Abu Khair berkata tema dan konsep ini dipilih pada tahun ini adalah bagi mendekatkan rakyat dan masyarakat dengan Parlimen kerana mereka hanya berpeluang menonton sidang Parlimen secara langsung di kaca televisyen sahaja sebelum ini.\nTambah beliau, program ini juga adalah untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang institusi legislatif negara ini yang terbahagi kepada tiga komponen iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara.\n\u201cPada tahun lepas semasa fasa pra-endemik, program ini dilaksanakan dalam skala kecil dengan kehadiran hampir 2,000 pengunjung yang dipilih secara bersasar tetapi pada tahun ini buat julung-julung kalinya program ini dianjurkan secara besar-besaran dengan pelibatan pelbagai kementerian, agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa pihak kedutaan,\u201d jelasnya ketika bersiaran dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) semalam.\nKatanya, pelbagai program telah disusun atur sepanjang dua hari program tersebut berlangsung seperti demonstrasi makanan warisan setiap negeri di Malaysia serta makanan warisan kaum Cina India dan orang Asli yang juga sebenarnya merupakan hasrat negarawan negara merangkap Tuan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dato\u2019 Seri Utama Dr. Rais Yatim.\nSelain itu, terdapat juga pelbagai pameran yang boleh dikunjungi oleh para pengunjung seperti pameran negarawan, legislatif, perpaduan dan pelbagai persembahan kesenian, kebudayaan serta pertandingan permainan tradisional.\n\u201cSepanjang dua hari program tersebut, turut diadakan aktiviti seperti jualan makanan, kraftangan, lukisan karikatur selain beberapa siri bicara saku dan yang paling menarik ialah para pengunjung dapat melihat secara lebih dekat ruangan di dalam dewan di Parlimen melalui lawatan berpandu dan mereka juga akan diberikan penerangan lanjut mengenai Parlimen semasa lawatan tersebut\u201d katanya.\nBeliau juga berkata tiada kod etika pakaian ditetapkan kepada para pengunjung tetapi diharapkan masyarakat yang hadir boleh mengenakan pakaian yang kemas dan sopan pada hari tersebut.\nAyuh, semua hadir ke program Hari Terbuka Parlimen Malaysia hujung minggu ini untuk mengenali dan mengetahui dengan lebih dekat lagi institusi legislatif negara ini!" "Gunakan Bahasa Melayu Sepenuhnya di Mahkamah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2212 Sebagai warganegara Malaysia, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dalam pelbagai bidang. Begitu juga halnya dalam bidang perundangan dan kehakiman. Pada amnya, bahasa rasmi di mahkamah ialah bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu tetapi jika diperlukan, maka bahasa Inggeris boleh digunakan. Para peguam dan hakim pula perlu fasih dalam kedua-dua bahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Namun begitu, terdapat sejumlah pengamal perundangan yang masih gagal menguasai bahasa Melayu dengan baik.\nSehubungan dengan itu, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mengadakan Program Bicarawara Perundangan Siri Ke-4 bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Sektor Perundangan 2021, yang bertajuk \u201cPenjiwaan dan Pemahaman Bahasa Melayu dalam Kalangan Pengamal Perundangan dan Kehakiman\u201d pada pukul 2.30 petang tadi yang bersiaran secara langsung menerusi Facebook DBP.\nProgram ini menampilkan empat orang pembicara, iaitu Tuan Hafez bin Zalkapli (Exco Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Puan Kokila Vaani a/p Vadiveloo (Pengerusi Jawatankuasa Peguam Negeri Selangor), Tuan Manveer Singh (peguam) dan Tuan Haji Mohamed Hanif bin Khatri Abdulla (peguam).\nMenurut Tuan Hafez, pengabaian atau pelecehan dan sikap acuh tidak acuh terhadap bahasa Melayu oleh pengamal perundangan boleh dilihat dengan jelasnya dalam Akta 156, iaitu Akta Profesion Undang-undang 1976. Mereka yang lulus bahasa Melayu boleh diberi pengecualian tetapi bagi yang tidak lulus, mereka perlu menjalani ujian lisan oleh Lembaga Kelayakan bagi jawatan dalam bidang perundangan.\nTambah beliau lagi, pengamal perundangan perlu membuat banyak kajian dan pembacaan dalam bahasa Melayu bagi menajamkan lagi penguasaan mereka dalam bahasa Melayu.\nSelain itu, penggunaan bahasa Melayu di mahkamah juga perlu diperluas lagi kerana masih boleh dipelajari dan diperbaiki sekiranya pengamal perundangan tidak fasih berbahasa Melayu. Jika bahasa Melayu digunakan secara meluas di mahkamah, maka mahu tidak mahu, mereka akan lebih berusaha untuk fasih berbahasa Melayu dan lebih cekap dalam menguasai bahasa kebangsaan. \n\u201cMereka juga boleh merujuk buku Istilah Undang-undang, hasil terbitan DBP sebagai rujukan. Banyak orang yang mengatakan bahawa bahasa Melayu tidak mempunyai perkataan yang tepat bagi mentafsirkan sesuatu dan tidak sesuai dijadikan bahasa pengantara di mahkamah. Hujahan ini tidak tepat kerana jika ruang dan peluang tidak diberi kepada bahasa Melayu, bagaimanakah laras undang-undang dalam bahasa Melayu itu akan berkembang?\u201c ujarnya lagi.\nSementara itu, Puan Kokila Vaani pula berkata, bahasa Melayu bukanlah bahasa untuk orang Melayu sahaja. Semua warga Malaysia perlu menguasai bahasa Melayu dengan baik dan fasih. Bagi pengamal perundangan bukan Melayu, hal ini menjadi satu cabaran untuk bertutur dan menyediakan hujahan dalam bahasa Melayu dengan baik. Namun begitu, sudah terbukti bahawa banyak pengamal perundangan bukan Melayu telah berjaya menyediakan hujahan yang sangat baik dalam bahasa Melayu termasuklah hakim bukan Melayu.\nMenurut beliau, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di mahkamah juga telah menjadi inisiatif oleh pengamal perundangan bukan Melayu untuk mempelajari bahasa Melayu dengan lebih baik. Selain itu, sikap memperlekeh bahasa Melayu perlu ditolak atau diperbetulkan. Bahasa Melayu perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam mahkamah dan hujahan dalam bahasa Melayu perlu diperbanyakkan.\nBagi Tuan Manveer Singh pula, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sangat penting digunakan di mahkamah. Sekiranya pengamal perundangan hendak bertutur dalam bahasa Inggeris di mahkamah, maka mereka perlu meminta kebenaran. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya penggunaan bahasa Melayu di mahkamah. Beliau juga mengharapkan agar semua pengamal perundangan menjadikan amalan menggunakan bahasa Melayu di mahkamah sebagai satu budaya. Untuk mahir berbahasa Melayu bagi yang bukan Melayu, mereka perlu perbanyakkan bertutur dalam bahasa Melayu dan meluaskan pergaulan dengan orang Melayu.\nPembicara keempat, iaitu Tuan Haji Mohamed Hanif pula menyatakan bahawa peri pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di bawah Perlembagaan Malaysia. Katanya, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan yang memandaikan pengamal perundangan dalam bidang guaman dan kehakiman. Oleh itu, para pengamal perundangan perlu prihatin terhadap penggunaan bahasa Melayu di mahkamah dalam meluhurkan dan menjunjung bahasa Melayu.\n\u201cTerdapat juga inisiatif yang dibuat oleh firma-firma guaman yang mengupah jurubahasa dan penterjemah bagi melatih peguam untuk berbahasa Melayu dengan baik dan fasih. Selain itu, para pengamal perundangan juga perlu tegas terhadap penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu dan sentiasa mengamalkan bahasa Melayu di mahkamah. Mereka juga seharusnya banyak menulis dan menterjemahkan buku undang-undang ke dalam bahasa Melayu\u201c, ujarnya lagi.\nDemikianlah penerangan menarik yang disampaikan oleh para panel yang terlibat ketika mengupas isu penjiwaan dan pemahaman bahasa Melayu dalam kalangan pengamal perundangan dan kehakiman. Yang turut hadir ialah Tuan Johan Radzi bin Ahmad Zahar (peguam) yang bertindak sebagai moderator." "Karyawan Malaysia Raikan Budaya Korea dalam Pameran Hallyu: Gelombang Korea\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Balai Seni Negara (BSN), serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bersama-sama Kedutaan Besar Republik Korea di Malaysia, Komuniti Seni Batu Belah, Universiti Malaya, Akademi Pengajian Korea, dan Khidmat Promosi Pengajian Korea menganjurkan Pameran Hallyu: Gelombang Korea di Malaysia di Galeri BSN dari 1 Mei lalu sehingga 16 September depan.\nPameran Hallyu: Gelombang Korea di Malaysia setiap hari secara percuma dari pukul 10 pagi hingga 5 petang ini diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur bersama-sama Republik Korea.\nPada permulaan pengenalannya, Dasar Pandang ke Timur yang berlandaskan faktor ekonomi merupakan reaksi daripada peristiwa \u201cPenyerbuan Subuh\u201d, dan \u201cBeli Barangan British\u201d. Melalui masa dan hasil perubahan pemikiran dan penerimaan, dasar ini turut menekankan pertukaran sosial budaya yang membabitkan Hallyu atau Gelombang Korea hingga kini.\nPameran Hallyu: Gelombang Korea di Malaysia ini merupakan pameran diplomasi budaya yang turut menjemput Komuniti Seni Batu Belah. Komuniti berkenaan merupakan antara pemenang Anugerah Bakat Muda Sezaman (BMS21), yang dianggotai anak-anak muda yang menghasilkan karya-karya seni secara kolektif.\nUntuk pameran ini, Komuniti Seni Batu Belah tampil dengan pengetahuan dan pengalaman \u201cgelombang Korea\u201d mereka bagi menterjemah kefahaman berkaitan asimilasi budaya Malaysia-Korea ke dalam bentuk visual menerusi karya-karya yang dipamerkan.\nPameran Hallyu: Gelombang Korea di Malaysia dengan 20 buah karya ini turut menampilkan karyawan-karyawan terkemuka dari Republik Korea, iaitu Jin Youngsun, DaViz (O Eunseuk & Park Kyudong), dan Bu Kyunghee.\nJin Youngsun merupakan salah seorang penerima Budaya Order Merit yang menjalani latihan sebagai artis Fresco Mural di Ecole Nationale Superieure des Beaux-Arts, Paris dan di ICCROM Rom yang membolehkan beliau menghasilkan semula mural lukisan dinding Goguryeo untuk Muzium Negara Korea pada tahun 1996.\nDaViz pula merupakan sebuah projek terbaharu O Eunseuk & Park Kyudong yang menggabungkan data visual, dan teknologi terkini seperti CG, AI dan media immersive. Yang menariknya, Pameran Hallyu: Gelombang Korea di Malaysia ini turut mempamerkan sebuah lukisan karya Allahyarham Datuk Hoessein Enas, berjudul Gadis Korea, daripada Koleksi Tetap Negara.\nPerasmian pameran selama kira-kira empat bulan ini disempurnakan oleh Menteri Luar Korea, Tuan Yang Terutama Park Jin pada 1 Mei lalu. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Saraya Arbi, dan Duta Besar Republik Korea di Malaysia, Tuan Yang Terutama Yeo Seung Bae." "Perpaduan dalam Kepelbagaian: Pameran Bidan Gamit Pengunjung\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Perpaduan dalam kepelbagaian. Itulah mesej terpenting daripada ucapan yang disampaikan oleh YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara ketika merasmikan Pameran Bidan dan Majlis Ramah Mesra Aldilfitri pada pagi tadi.\n\u201cSaya berharap pameran dan majlis ini dapat mencapai objektifnya untuk mengeratkan kefahaman kepelbagaian kebudayaan kita di Malaysia selaras dengan fungsi teras dan objektif Kementerian Perpaduan Negara dalam menjaga perpaduan, kebudayaan dan kefahaman kepelbagaian antara semua kumpulan etnik, agama dan budaya agar terpelihara selama-lamanya,\u201d kata beliau.\n\u201cSebab itu tema kita di Kementerian Perpaduan Negara ialah perpaduan dalam kepelbagaian. Oleh itu pelbagai budaya yang ada di negara kita perlu dikekalkan dan dipamerkan untuk sekarang dan untuk masa-masa akan datang,\u201d jelas YB Datuk Aaron Ago Dagang.\nTurut hadir pada majlis tersebut ialah YB Tuan Lukanisman bin Awang Sauni merangkap Timbalan Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah, Jabatan Muzium Malaysia iaitu YBhg. Datuk Kamarul Baharin bin A. Kasim.\nPameran Bidan yang diadakan ialah anjuran Jabatan Muzium Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia di Galeri 1, Muzium Negara, Kuala Lumpur dan telah bermula sejak 1 Mei 2023 sehingga 31 Julai 2023.\nMatlamat penganjuran pameran ini ialah untuk menghargai peranan bidan tradisional (bidan kampung) dan bidan moden dalam institusi kesihatan bersempena dengan sambutan Hari Bidan yang disambut pada 5 Mei setiap tahun.\nKoleksi peralatan berkaitan bidan seperti mangkuk mandi bayi etnik Dayak, pendukung bayi etnik Orang Ulu Kenyah, kerusi besalin masyarakat Cina, sengkalan, lupong manang atau bekas simpanan ubat etnik Iban pastinya akan menarik perhatian para pengunjung yang hadir ke pameran tersebut." "Golongan Peranakan Malaysia Berdialog tentang Perpaduan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cIkan di laut asam di darat, dalam belanga bertemu jua,\u201d merupakan petikan lirik yang popular menggambarkan penyatuan dan pertemuan yang berbeza dalam ruang yang sama bersempena dengan Dialog Peranakan Malaysia 2023, bertempat di Balai\u00a0 Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, pada 13 Mei 2023.\nTurut serta dalam Dialog Peranakan Malaysia pada kali ini merupakan tiga panel pembicara yang cukup hebat membicarakan perihal kehidupan golongan peranakan yang tidak asing di Malaysia, iaitu Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia, YBhg. Dato\u2019 Ronald Gan Yong Hoo, Presiden Persatuan Penduduk Kampung Portugis Melaka, Puan Marina Linda Danker dan Presiden Persatuan Kebudayaan Cheti Melaka, Encik Shanmugan Raja a/l Kandasamy Raja.\nBersesuaian dengan tema dialog peranakan pada kali ini yang menyentuh tentang perpaduan bangsa, konsep Malaysia MADANI dilihat sebagai jambatan kesatuan bagi golongan peranakan di Malaysia. YBhg. Dato\u2019 Ronald Gan Yong Hoo berkata,\nBaba Nyonya merupakan satu daripada contoh paling baik yang menerapkan konsep perpaduan di Malaysia.\nTambahnya lagi,\nBagaimana kita lihat baju kebaya baru-baru ini dicalonkan oleh empat negara ASEAN ke peringkat UNESCO, begitulah fungsi Baba Nyonya untuk memperkenalkan budayanya pada masyarakat. Dalam konteks ini, kita mencari kesamaan dalam budaya dan kehidupan dan itulah definisi perpaduan yang sebenar.\nKepelbagaian kaum di Malaysia yang unik ini disatukan melalui satu jambatan, iaitu bahasa. Marina Linda Danker berkata, bahasa Melayu menjadi bahasa utama dalam kalangan orang Portugis. Bagi mereka, komunikasi masyarakat melalui satu bahasa ialah lambang perpaduan. Kongsinya,\nKami (orang Portugis) dididik untuk merasakan tiada perbezaan budaya, gaya hidup dan bahasa agar kesepaduan itu lebih utuh dan tidak ada jurang.\nWalau bagaimanapun, perpaduan ini dilihat telah diancam dengan kedatangan media sosial dalam generasi masa kini. Shanmugan Raja melihat peranan media sosial kini ada baik dan buruknya dalam menyebarluaskan budaya peranakan Baba Nyonya, Cheti dan Portugis.\nBagi meraikan golongan peranakan yang bersifat minoriti ini memerlukan usaha sama semua pihak seperti yang dilakukan dalam Dialog Peranakan Malaysia 2023, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka melalui kerjasama Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia (PERANAKAN), untuk memastikan kepelbagaian budaya dan bangsa di Malaysia mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah." "Titik Persamaan Tradisi dan Budaya Baba Nyonya Pemangkin Pembinaan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia, YBhg. Dato\u2019 Ronald Gan Yong Hoe berkata, persamaan tradisi dan budaya masyarakat Baba Nyonya dengan masyarakat majoriti Malaysia merupakan antara titik persamaan yang boleh dijadikan sebagai tiang jambatan pembinaan negara yang kukuh dan madani.\nMenurut beliau, antara tradisi dan budaya tersebut termasuklah dondang sayang, pantun, tarian joget lambak, makan sirih dan sambal belacan, serta pemakaian kebaya.\n\u201cMasyarakat Baba Nyonya, Ceti dan Serani di Malaysia perlu berasa bangga dengan tradisi dan cara hidup kita.\nJika kita sendiri termakan dengan arus pembangunan sehingga mengabaikan bahasa, cara hidup, pakaian dan lagu kita, makan hilanglah khazanah yang boleh dan layak dijadikan sebagai ikon perpaduan di negara ini,\u201d kata beliau ketika berucap dalam Majlis Perasmian Festival Peranakan Malaysia 2023, pagi tadi.\nBeliau percaya, peranakan tidak akan hilang di muka bumi ini, namun memerlukan bantuan kerajaan terutamanya kerajaan yang menawarkan konsep MADANI supaya memberikan legitimasi kepada status peranakan sebagai satu suku kaum di Malaysia ini.\n\u201cKami tidak mahu dijadikan sebagai produk pelancongan malahan menjadi ikon perpaduan yang boleh membina masyarakat yang benar-benar masyhur dan bersatu padu,\u201d ujar beliau.\nFestival yang berlangsung selama sehari di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tersebut merupakan anjuran DBP dengan kerjasama Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia (PERANAKAN), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Melaka, Persatuan Peranakan Baba Nyonya Kuala Lumpur dan Selangor, Jabatan Warisan Negara serta Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara, Negeri Melaka.\nPenganjuran festival ini bertujuan untuk mengangkat keindahan serta kekayaan budaya Baba Nyonya melalui aktiviti kesenian kepada masyarakat umum.\nFestival Peranakan Malaysia 2023 padat dengan aktiviti seperti Dialog Peranakan, Pertandingan Rencah Rasa Peranakan, Main Wayang Peranakan, persembahan dondang sayang dan joget, serta pameran dan jualan barangan peranakan." "Anwar: The Untold Story, Kisah Kelegitan Anwar Ibrahim Menentang Rasuah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Farid Kamil, pelakon filem \u201cpecah panggung\u201d pada tahun 2017, Tombiruo: Penunggu Rimba, dan yang terbaharu Sumpahan Syaitan, menegaskan sesiapa yang mahu memegang watak Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam filem atau karya lain mestilah membenci dan memerangi rasuah!\nWalaupun sikap sedemikian amat sesuai dan melayakkan Farid memegang watak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk filem Anwar: The Untold Story (ATUS), tetapi beliau bukanlah satu-satunya pelakon yang dipilih. Sebelum beliau, beberapa orang pelakon dari Malaysia dan luar negara telah menolak tawaran berlakon sebagai Anwar Ibrahim kerana bimbangkan risiko bakal dihadapi.\nSelain Farid dan Hasnul Rahmat dari Malaysia, ATUS turut dibintangi pelakon dan penyanyi terkenal Indonesia, Acha Septriasa sebagai Dr. Wan Azizah Wan Ismail, iaitu isteri Anwar, serta Saskia Chadwick, Piet Pagau, Dewi Irawan dan ramai lagi. Hasnul memegang watak Perdana Menteri keempat, Dr. Mahathir Mohamad (semasa zaman cerita filem ini ialah Datuk Seri).\nATUS yang menelan biaya RM10 juta, dan akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula pada 18 Mei nanti, bakal memberikan anjakan paradigma, serta menjadi satu penanda aras baharu untuk industri perfileman tanah air.\nMenjalani penggambaran di Indonesia dan Malaysia dengan gabungan dua negara serumpun, termasuk kehadiran gabungan pelakon terkenal, serta pasukan penerbitan menjanjikan ATUS mampu menarik semua lapisan masyarakat menontonnya di pawagam.\nOleh kerana pelancarannya pada 1 Mac lalu yang juga beberapa bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dan penubuhan Kerajaan Perpaduan, ramai yang menganggap ATUS dihasilkan selepas itu, dan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.\nNamun demikian, Penerbit Eksekutif ATUS, Zunar atau nama sebenarnya, Zulkiflee Anwar Haq, tampil memberikan penjelasan.\n\u201cSebenarnya, filem ini dihasilkan sebelum PRU15, dan tidak mengambil kira kerajaan mana yang memerintah. Begitu pun, pelbagai kesukaran dihadapi, termasuk kebimbangan mengenai soal tayangan kalau bukan Pakatan Harapan yang memerintah, dan Anwar tidak menjadi Perdana Menteri,\u201d jelas Zunar, yang juga kartunis tersohor sejak 1990-an.\nATUS yang berdurasi 108 minit membawa kisah jatuh bangun perjuangan Anwar dalam politik Malaysia, terutama melawan rasuah. Filem yang diusahakan (penulisan skrip) sejak Ogos 2011 ini telah bersedia untuk ditayangkan.\nLatar waktu cerita ialah dari 1993 hingga 1998, iaitu ketika Anwar mula menjawat jawatan Menteri Kewangan sehingga dipecat pada 2 September (1998).\nDiadaptasi\u00a0 dan diolah daripada kisah benar, jalur ceritanya adalah mengenai sikap Anwar yang tegas, dan konsisten menolak pelbagai jenis imbuhan, dan wang tunai daripada pihak tertentu.\nSelain itu, memaparkan bagaimana beliau enggan menggunakan wang rakyat untuk \u201cmenyelamatkan\u201d syarikat anak pemimpin tertentu yang kerugian berbilion ringgit. Oleh kerana itu, beliau difitnah dengan satu konspirasi besar, dipecat, dipukul dengan ganas di lokap, dan dibiarkan tanpa rawatan perubatan selama beberapa hari.\nPengarah ATUS, Viva Westi, tidak dapat menyembunyikan rasa terharunya dengan penerbitan filem ini. Katanya, doa dan air mata telah mengiringi kerja-kerja pembikinan ATUS.\n\u201cSaya masih mengingati pesanan Zunar yang keras-lucu, iaitu saya boleh sakit, tetapi jangan mati selagi filem ini belum disiapkan. Saya dan suami juga kerap berbalah kerana kedegilan saya untuk menyiapkan filem ini,\u201d cerita Viva.\nAcha pula menyatakan rasa teruja dapat membintangi ATUS, selain terharu dengan layanan dan sifat keibuan Dr. Wan Azizah terhadapnya ketika kali pertama bertemu. Dia yang juga penyanyi lagu terkenal Berdua Lebih Baik, turut gembira dapat belajar bertutur dalam bahasa Melayu." "Revolution Stage Pentaskan Olahan Baharu Legenda Puteri Gunung Ledang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Revolution Stage kembali dengan cara penceritaan yang berbeza dalam pementasan terbaharu mereka, Teater Bangsawan Indie Puteri Gunung Ledang: Sakti Siti Djamilah. Terinspirasi dengan konsep sufisme, skrip karya Khairunazwan Rodzy ini akan membawa pengalaman dan pengetahuan yang baharu kepada penonton.\nMenurut Khairunazwan, yang berganding sebagai pengarah bersama teater ini dengan Rahim Jo, beliau memilih jalan cerita ini kerana ingin masyarakat lebih mengenali Puteri Gunung Ledang, atau nama Islamnya, Siti Djamilah, dari sudut yang berbeza daripada penceritaan yang sering didengari dan didendangkan.\n\u201cSaya merasakan ia adalah salah satu sudut penceritaan yang masih ramai belum tahu. Walaupun kita tahu kisah Puteri Gunung Ledang memang terkenal, tetapi penceritaan dan skrip yang saya cuba sampaikan akan membawa satu pengalaman dan pengetahuan yang baharu kepada setiap penonton,\u201d jelas Khairunazwan.\nMelalui fokus penceritaan kepada kisah rombongan Sultan Mahmud dan latar belakang keperibadian Puteri Gunung Ledang yang lebih dalam, Revolution Stage memberikan interpretasi segar terhadap legenda Puteri Gunung Ledang.\nTidak hanya menerapkan tafsiran yang tersendiri, pementasan ini juga disebut oleh wakil pihak produksi, Revolution Stage, akan memberikan pengalaman teater yang berbeza. Teater Bangsawan Indie Puteri Gunung Ledang: Sakti Siti Djamilah ialah satu usaha untuk mempopularkan konsep teater bangsawan indie di Malaysia. Pementasan ini adalah inisiatif susulan selepas kejayaan pementasan Teater Bangsawan Indie: Raja Bersiong pada Anugerah Teater Malaysia tahun lepas yang merangkul 3 piala dalam anugerah tersebut.\nMenjelang pementasan pada 17 hingga 28 Mei 2023 ini, lebih daripada 15 pelakon muda dan berpengalaman seperti Aloeng Silalahi, Kyra Sabri, Jasni Fizul, Saiful Wazien, Fattah Fawzy dan ramai lagi akan tampil sebagai pelakon di pentas Revolution Stage, Petaling Jaya.\nRevolution Stage bukan sahaja merupakan sebuah produksi teater, tetapi juga merupakan pusat pembelajaran teater yang utama di Kuala Lumpur. Dengan menerima Insentif Seni (Kewangan) daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan juga The BOH Cameronian Grants for New Productions 2022 dari Kakiseni, Teater Bangsawan Indie Puteri Gunung Ledang: Sakti Siti Djamilah menandakan impak dan kesungguhan Revolution Stage dalam dunia teater Malaysia.\nBagi mereka yang tidak berada di Lembah Klang, pementasan akan turut dipertontonkan secara dalam talian dan boleh dibeli dengan harga yang berbeza. Para penggemar teater dijemput untuk menyaksikan Teater Bangsawan Indie Puteri Gunung Ledang: Sakti Siti Djamilah dan boleh mendapatkan tiket di www.revolutionstage.com." "Landskap Budaya Malaysia di kota London\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\nLondon \u2013 Minggu Kraf London 2023 anjuran Yayasan Tenun Pahang Diraja di bawah naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertemakan Abstrak Alam Semula Jadi mempamerkan landskap budaya Malaysia yang kaya melalui tradisi krafnya yang luar biasa.\nPameran edisi kedua ini berlangsung dari 6 Mei hingga 14 Mei diadakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, London menonjolkan kemahiran kraf yang berakar umbi dalam masyarakat orang asli di negara kita iaitu orang asli Semelai dari Pahang, Mah Meri dari Selangor dan pelbagai etnik dari Sabah dan Sarawak.\nProgram ini merupakan inisiatif KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang bertujuan mempromosikan produk kraf warisan daripada usahawan kraf Malaysia seperti produk kraf tradisional orang Melayu, orang asli serta etnik Sabah dan Sarawak ke peringkat antarabangsa.\nTerdapat pelbagai aktiviti menarik yang diadakan semasa minggu kraf tersebut termasuklah pameran, demonstrasi, bengkel, lawatan berpandu dan jualan dalam talian. Sebanyak 200 produk kraf Malaysia dipamerkan sebagai platform untuk mempromosikan dan membantu usahawan kraf tempatan memasarkan hasil produk mereka ke persada antarabangsa.\nLebih menarik pada edisi kali ini apabila Kraftangan Malaysia turut menampilkan tiga usahawan bagi membuat demonstrasi pembuatan produk kraf ukiran kayu oleh Tokoh Kraf Negara Encik Norhaiza bin Noordin, ukiran patung moyang orang asli Mah Meri oleh Adiguru Encik A. Samri a/l Abdul Rahman dan anyaman pandan orang asli Mah Meri oleh Puan Maznah anak Unyan." "Legenda Mahsuri Dijelmakan Semula dalam Bentuk Teater\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2013 Baru-baru ini, telah berlangsung pementasan teater Dendam Mahsuri oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedawang di Auditorium Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA). Teater ini dipentaskan bersempena dengan penganjuran Bengkel Kerja Pengurusan Guru antara Negeri dan Bahagian Kementerian Pendidikan Malaysia 2023 di Hotel Adya, Pekan Kuah, pada 10 Mei 2023 yang lalu.\nPulau Langkawi yang terletak di Kedah sememangnya terkenal dengan legenda Mahsuri. Hal ini turut diikuti dengan keindahan alam semula jadi, jualan barang bebas cukai dan produk tarikan yang menarik minat ramai pelancong dan pengunjung untuk mengunjungi pulau pelancongan tersebut sejak dahulu hingga kini, terutamanya selepas Pengisytiharaan Langkawi sebagai Pulau Bebas Cukai pada 1 Januari 1987. Mahsuri merupakan seorang anak desa di Kampung Mawat, Mukim Ulu Melaka yang terkenal dengan kecantikan, keayuan dan budi pekerti seharum seperti pemilik namanya. Namun malangnya, dia telah dijatuhi hukuman mati angkara fitnah.\nJalan cerita asal legenda setempat ini telah direka cerita semula dengan sentuhan dan olahan oleh pelajar SMK Kedawang. Mahsuri yang sebelum ini merupakan gadis desa telah dijelmakan sebagai seorang permaisuri yang berkuasa sakti di Langkawi. Kekuasaan baginda tidak bertahan lama kerana selepas itu Permaisuri Mahsuri telah terkorban dek angkara kuasa oleh persaingnya, Lela dan Jalak. Dua orang putera permaisuri, iaitu Wan dan Hakim, berusaha menuntut bela atas kematian bonda mereka, namun, mereka juga turut menghadapi tentangan dan krisis peribadi antara mereka berdua. Cabaran yang mendatang dihadapi dengan kerja sama yang erat antara kedua-dua beradik tersebut sehingga berjaya menumpaskan Lela dan Jalak. Diakhir cerita, mereka sepakat untuk membangunkan Langkawi mengikut panduan yang telah digariskan oleh Permaisuri Mahsuri.\nProduksi teater SMK Kedawang ini yang terdiri daripada pelajar dalam jurusan seni lakonan dan seni lukisan mula ditubuhkan sejak tahun 2015, dengan tercetusnya kerjasama bersama-sama Suatukala. Suatukala ialah inisiatif jangkauan komuniti yang tertumpu pada penceritaan dalam apa jua bentuk. Menurut penerbit, pada bulan September 2023, SMK Kedawang telah menghantar seramai 25 orang murid bagi menyertai Kem Teater Rekacerita yang dianjurkan oleh Suatukala dengan kerjasama pihak LADA.\nPara pelajar dibimbing dengan ilmu asas pementasan teater. Rekacerita merupakan olahan jalan cerita yang dicipta dan dinukilkan oleh para pelajar berdasarkan kisah-kisah Lagenda di Langkawi dengan menggunakan idea dan kreativiti mereka sendiri. Seramai 20 orang pelajar dari SMK Kedawang terpilih bagi pertandingan pementasan akhir Rekacerita dan buat julung kalinya program ini dianjurkan, SMK Kedawang telah dinobatkan sebagai Johan.\nPementasan teater Dendam Mahsuri ini diterbitkan oleh guru seni SMK Kedawang, Shureeza Faris Abdul Shukor, diarahkan oleh Naufal Nor Azli dan Fifi Aliesya. Teraju utama teater ini ialah Naufal Nor Azli, Yahya Omar, Danial Ikhlas, Johaneef Hakeem dan Syifa Amani. Pementasan ini telah disaksikan oleh Ketua Penolong Pengarah Unit Penempatan dan Pertukaran Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) Kementerian Pendidikan Malaysia, Tuan Haji Zanol Haji Awang, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi, Tuan Haji Mohd Kamal Hashim dan barisan urusetia dari BPSH dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah. Persembahan ini telah mendapat dukungan dan sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi, SMK Kedawang dan LADA." "Bandar Raya Miri Meraikan Ulang Tahun yang Ke-18\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMiri \u2013 Bandar raya Miri menyambut ulang tahun yang ke-18 menerusi penganjuran Miri Mayfest 2023 sepanjang bulan Mei ini. Pelbagai acara dan aktiviti yang menarik telah dirancang untuk memeriahkan lagi sambutan itu yang bertemakan [email\u00a0protected] \u2013 Going International.\nMenurut Datuk Bandar Raya Miri, Adam Yii Siew Sang, penganjuran kali ini akan lebih memfokuskan kepada hubungan luar dan antarabangsa dengan aktiviti yang dijalankan. Penganjuran sambutan tersebut bertepatan dengan visi bandar raya Miri untuk mempromosikan sektor pelancongan, hub pendidikan, kebudayaan dan sastera di bandar itu.\nBeliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut turut mengajak orang ramai untuk menghadiri Hari Terbuka Bandar Raya Miri yang akan diadakan pada 20 Mei bertempat di Dewan Bandaraya Miri.\n\u201cBagi ulang tahun ke-18 ini, kami telah mengaturkan sambutan Hari Terbuka Bandar Raya Miri bermula pada jam 9 pagi hingga petang di Dewan Bandaraya Miri. Pelbagai program akan diatur dan kami menjemput semua lapisan masyarakat di Miri untuk hadir dan memeriahkan acara yang akan diadakan,\u201d jelas beliau pada sidang media Hari Terbuka Majlis Bandaraya Miri dan Miri Mayfest.\nAktiviti yang menarik sepanjang bulan ini boleh dirujuk di Facebook Miri City Council (https://www.facebook.com/profile.php?id=100090028661689) yang meliputi aktiviti kebudayaan, sastera, kesihatan, pelancongan serta mempromosikan peranan Majlis Bandaraya Miri kepada orang ramai.\nPustaka Negeri Sarawak dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sarawak turut bekerjasama menjayakan pelbagai sesi perkongsian yang menarik sepanjang minggu ini bagi menyemarakkan sambutan ulang tahun ke-18 bandar raya Miri." "Realiti Kehidupan Kaum Melanau di Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKaum Melanau adalah antara pelbagai etnik yang terdapat di bumi Sarawak. Mereka ialah penduduk peribumi Sarawak dan termasuk dalam rumpun Austronesia. Masyarakat Melanau kebanyakannya menetap di persisiran pantai, seperti kawasan lembah utara Sungai Rajang, Igan, Roban, Kabong, Matu-Daro, Pulau Bruit, Mukah, Gua Niah, Taman Negara Mulu, Dalat, dan Bintulu, serta terdapat juga di kawasan bandar besar, seperti Kuching, Sibu dan Miri.\nPada setengah abad yang lalu, daerah Bintulu yang menjadi penempatan kaum Melanau merupakan tanah jagaan bagi kerajaan kesultanan Brunei. Oleh sebab Bintulu merupakan tanah jagaan Sultan Brunei, baginda sering kali datang berkunjung bagi memantau keadaan penduduknya. Dikhabarkan, sedang perahu kerajaan Brunei berlayar menuju ke Kuala Bintulu, baginda ternampak sekumpulan penduduk sedang mendayung perahu menuju ke destinasi yang sama. Maka baginda pun bertanya kepada seorang nahkoda kapalnya \u201cPerahu siapakah yang berada banyak di hadapan kita?\u201d Nahkoda itu pun menjawab \u201cItu perahu orang memanau, baginda sultan.\u201d Hari demi hari perkataan \u201cmemanau\u201c bertukar menjadi Melanau.\nMasyarakat Melanau amat mementingkan aspek pangkat dalam adat perkahwinan mereka. Status sosial sangat dititikberatkan bagi menjaga maruah dan keturunan mereka. Pasangan pengantin mestilah membawa barangan serta hadiah sebagai tanda tunang dan mas kahwin yang termasuk dalam status sosial perkahwinan kaum Melanau.\nPasangan yang mempunyai status sosial yang sama akan digelar \u201csama gara\u201c oleh masyarakat Melanau, manakala jika pasangan perempuan dan lelaki itu tidak mempunyai status sosial yang sama digelar \u201csida adat\u201c.\nBagi adat merisik masyarakat Melanau, keluarga pihak lelaki akan mengunjungi rumah keluarga perempuan bagi mengetahui status sosial keluarga perempuan. Keluarga pihak lelaki juga akan bertanya jika gadis itu sudah berpunya atau belum, dan sekiranya belum pihak lelaki akan meminang dan berbincang tentang mas kahwin.\nApabila kedua-dua belah pihak bersetuju, maka adat pertunangan akan dilaksanakan. Pihak lelaki akan mengumpulkan beberapa orang lelaki dan perempuan daripada anggota ahli keluarganya yang sudah berusia. Mereka ditugaskan bagi mengangkat dulang hantaran peminangan yang berupa sebentuk cincin, sebilah senjata, segantang padi, sebiji kelapa dan beberapa barangan tembaga. Barang-barang hantaran ini diserahkan kepada pihak keluarga perempuan sebagai tanda pertunangan.\nSebelum berlangsungnya pertunangan, kedua-dua pihak keluarga membentuk beberapa persetujuan dan jika salah satu pasangan melanggar persetujuan tersebut maka pertunangan tersebut akan terputus. Sementara itu, jika pihak perempuan memutuskan tali pertunangan tersebut, maka segala barangan hantaran mestilah dipulangkan semula kepada pihak lelaki. Sekiranya pihak lelaki pula yang memutuskan tali pertunangan, maka pihak perempuan tidak perlu memulangkan kembali barangan hantaran.\nSegala persiapan perkahwinan mestilah diuruskan sebelum tarikh perkahwinan berlangsung. Hal ini kerana bakal pengantin lelaki mestilah menyerahkan hadiah mas kahwin, iaitu \u201cpenyekab\u201c dan \u201cberian\u201c serta hadiah lain, seperti \u201cadat menuga\u201c, \u201cadat mebin\u201c dan \u201cpakan\u201c kepada bakal pengantin perempuan sebelum majlis perkahwinan berlangsung. Kenduri perkahwinan pula harus diadakan di rumah kedua-dua pihak pengantin perempuan dan lelaki serta dihadiri oleh sanak-saudara, jiran dan sahabat dari kedua-dua belah pihak. Pada sebelah malamnya pula, upacara makan nasi temuan diadakan dan pasangan pengantin menjamah jamuan. Pengantin perempuan juga akan menyuap pengantin lelaki semasa menjamah nasi temuan.\nSebelum kedatangan kesultanan Brunei di penempatan masyarakat Melanau, kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai pegangan agama dan tidak percaya akan kewujudan tuhan. Namun begitu, selepas penjajahan keluarga Brooke di Sarawak dan pemerintahan kesultanan Brunei, banyak masyarakat Melanau mula beralih kepada agama Islam dan Kristian. Sebelum masyarakat Melanau memeluk agama Islam dan Kristian, mereka mempunyai kepercayaan terhadap kuasa ghaib serta percaya dunia mempunyai tiga lapisan yang mengandungi unsur baik dan jahat. Masyarakat Melanau dinasihatkan supaya tidak mengganggu lapisan-lapisan ghaib ini kerana dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan mereka dan akan mendapat bala. Bukan itu sahaja, mereka turut percaya individu yang mengganggu lapisan ghaib ini akan mendapat penyakit.\nMasyarakat Melanau juga percaya wujudnya makhluk-makhluk halus yang digelarkan sebagai ipok, amow, tow dan during. Sekiranya masyarakat Melanau diganggu oleh makhluk halus ini maka khidmat dukun atau bomoh akan digunakan bagi mengusir keberadaan makhluk halus tersebut. Namun demikian, kepercayaan kuno ini semakin dilupakan semenjak masyarakat Melanau mula memeluk agama Islam dan Kristian.\nMasyarakat Melanau menyambut perayaan Pesta Melanau atau lebih dikenali sebagai Kaul Melanau. Perayaan ini disambut bagi merayakan semangat laut, tanah, hutan dan kebun bagi kaum Melanau. Perayaan ini merupakan perayaan yang disambut oleh nenek moyang mereka. Perayaan ini disambut secara besar-besaran di persisiran pantai Sarawak. \u2018Tibou\u2019 iaitu buaian setinggi 20 kaki akan dibina. Sebanyak tujuh atau lapan orang pemuda Melanau akan bergayut di tali buaian gergasi ini. Pesta Kaul ini akan diserikan lagi dengan bot-bot berhias yang berwarna-warni di persisiran pantai Sarawak.\nSukan pantai turut akan diadakan serta dimeriahkan lagi dengan gerai-gerai makanan tradisional kaum Melanau. Setelah matahari terbenam, pesta Kaul akan diteruskan di dalam rumah masyarakat kaum Melanau. Mereka akan mengunjungi rumah sanak-saudara dan setiap rumah akan menghidangkan sagu yang merupakan juadah istimewa setiap kali perayaan Kaul disambut. Orang Melanau juga terkenal dengan gelaran penebang sagu yang mahir. Perusahaan sagu selalunya dimiliki oleh kaum Melanau di Sarawak." "Makna Penggandaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPenggandaan merupakan satu daripada proses pembentukan kata dalam bahasa Melayu. Proses yang lain ialah pengimbuhan, pemajmukan dan pembentukan akronim. Proses penggandaan meliputi kata kerja, kata kerja, kata adjektif dan sesetengah kata tugas. Melalui proses penggandaan, terhasillah kata ganda penuh, kata ganda separa dan kata ganda berentak. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a.\u00a0 Dia melawati tempat-tempat bersejarah.\n1b.\u00a0 Mereka berlari-lari di pantai.\n1c.\u00a0 Keadaan kelas itu riuh-rendah.\nDalam ayat 1a, terdapat kata nama ganda penuh, iaitu tempat-tempat. Dalam ayat 1b, terdapat kata kerja ganda separa, iaitu berlari-lari. Dalam ayat 1c, terdapat kata adjektif ganda berentak, iaitu riuh-rendah.\nProses penggandaan dapat menyampaikan maksud jamak. Sila lihat contoh yang berikut:\n2a.\u00a0 Rumah-rumah di sana cantik.\n2b.\u00a0 Rumah di sana cantik-cantik.\nDalam kelompok ayat 2, kata nama ganda rumah-rumah dan kata adjektif ganda cantik-cantik membawa erti bahawa rumah yang dimaksudkan bersifat jamak.\nPenggandaan dapat juga mendukung makna umum. Sila lihat contoh yang berikut:\n3a.\u00a0 Tiada apa-apa di dalam almari itu.\n3b.\u00a0 Siapa-siapa boleh masuk.\n3c.\u00a0 Pilih mana-mana yang awak suka.\n3d.\u00a0 Dia mungkin datang bila-bila.\nDalam ayat 3a, 3b dan 3c, kata ganti nama tanya ganda apa-apa, siapa-siapa dan mana-mana membawa maksud umum. Dalam ayat 3d, kata tanya ganda bila-bila juga membawa maksud umum atau \u201csebarang\u201d.\nAda kata ganda yang membawa maksud \u201cberulang-ulang\u201d atau \u201cberpanjangan\u201d.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\n4a.\u00a0 Dia melambai-lambaikan tangannya.\n4b.\u00a0 Dia muntah-muntah selepas makan.\n4c.\u00a0 Dia tertanya-tanya tentang hal itu.\n4d.\u00a0 Keputusan itu ditunggu-tunggu.\nDalam kelompok ayat 4, kata ganda melambai-lambaikan, muntah-muntah, tertanya-tanya dan ditunggu-tunggu bererti\u201d berulang-ulang\u201d atau \u201cberpanjangan\u201d.\nAda kalanya penggandaan menghasilkan kata yang mempunyai maksud \u201cmenyerupai rupa atau keadaan\u201d dalam kata dasar. Sila lihat contoh yang berikut:\n5a.\u00a0 Langit-langit bilik itu sudah kotor.\n5b.\u00a0 Anaknya suka makan gula-gula.\n5c.\u00a0 Tupai-tupai dipaku pada tiang itu.\n5d.\u00a0 Orang-orang dipacakkan di sawah.\nDalam kelompok ayat 5 di atas, kata ganda langit-langit, gula-gula, tupai-tupai dan orang-orang membawa maksud menyerupai rupa atau keadaan pada kata dasar yang berkenaan.\nWalau bagaimanapun, terdapat kata ganda semu yang hanya merupakan nama khusus sesuatu benda atau hidupan, dan tidak mendukung maksud \u201cmenyerupai\u201d. Sila lihat contoh yang berikut:\n6a.\u00a0 Seekor sibur-sibur hinggap pada hujung rumput itu.\n6b.\u00a0 Kisi-kisi dipasang untuk mencegah kecurian.\n6c.\u00a0 Usahanya hanya sia-sia.\n6d.\u00a0 Dia menyampaikan ucapan alu-aluan.\nDalam kelompok ayat 6 di atas, seluruh kata ganda sibur-sibur, kisi-kisi, sia-sia dan alu-aluan merupakan entiti tersendiri yang mendukung maksud khusus.\nAda kata ganda yang membawa maksud \u201cdemi\u201d. Sila lihat contoh yang berikut:\n7a.\u00a0 Satu benda ditimbangnya.\n7b.\u00a0 Dia menimbang benda itu satu-satu.\n7c.\u00a0 Dia menimbang benda itu satu demi satu.\nAda kata ganda yang membawa maksud \u201csahaja\u201d atau \u201chanya\u201d. Sila lihat contoh yang berikut:\n8a.\u00a0 Itulah satu kajian telah dijalankan.\n8b.\u00a0 Itulah satu-satunya kajian yang telah dijalankan.\n8c.\u00a0 Itulah kajian yang satu sahaja yang telah dijalankan.\nPenggandaan mungkin membawa maksud \u201csantai\u201d. Sila lihat contoh yang berikut:\n9a.\u00a0 Mereka duduk-duduk di serambi.\n9b.\u00a0 Dia tidur-tidur untuk melepaskan keletihan.\n9c.\u00a0 Dia berbaring-baring sambil menonton televisyen.\nPenggandaan juga menghasilkan adverba terbitan atau keterangan yang menghuraikan kata tertentu dalam ayat. Sila lihat contoh yang berikut:\n10a.\u00a0 Dia benar-benar takut.\n10b.\u00a0 Dia telah berfikir masak-masak.\n10c.\u00a0 Dia berjuang (secara) bermati-matian.\n10d.\u00a0 Dia ditipu hidup-hidup.\n10e.\u00a0 Dia bertindak (secara) terburu-buru.\nPenggandaan yang bergandingan dengan awalan se- membawa maksud \u201cbetapa pun\u201d atau \u201cwalaupun begitu\u201d. Sila lihat contoh yang berikut:\n11a.\u00a0 Sepandai-pandai manusia, ada kalanya tersilap juga.\n11b.\u00a0 Sehandal-handal pemain itu, ada kalanya dia kalah juga.\n11c.\u00a0 Sejahat-jahat orang itu, ada juga kebaikannya.\nPenggandaan yang bergandingan dengan apitan ke-.-an mendukung pelbagai maksud. Sila lihat contoh yang berikut:\n12a.\u00a0 Bajunya kekuning-kuningan.\n12b.\u00a0 Gadis itu kemalu-maluan.\n12c.\u00a0 Dia berlagak ketuan-tuanan.\nDalam ayat 12a, kekuning-kuningan bererti \u201cagak kuning\u201d. Dalam ayat 12b, kata kemalu-maluan bererti \u201csangat malu\u201d. Dalam ayat 12c, kata ketuan-tuanan bererti \u201cseperti tuan\u201d.\nAda kalanya penggandaan mendukung maksud kesangatan. Sila lihat contoh yang berikut:\n13a.\u00a0 Dia datang pagi-pagi.\n13b.\u00a0 Dia balik malam-malam.\n14a.\u00a0 Gua itu gelap-gelita.\n14b.\u00a0 Keadaannya kacau-bilau.\nDalam ayat 13a, kata pagi-pagi bererti \u201cawal pagi\u201d, manakala dalam ayat 13b, kata malam-malam bererti \u201cjauh malam\u201d. Dalam ayat 14a, gelap-gelita bererti \u201csangat gelap\u201d, dan dalam ayat 14b, kata kacau-bilau bererti \u201csangat kacau\u201d.\nPenggandaan mungkin mendukung maksud \u201cketidakpastian\u201d. Sila lihat contoh yang berikut:\n15a.\u00a0 Jangan-jangan dia tidak datang.\n15b.\u00a0 Saya bimbang kalau-kalau dia sakit.\nAda kata ganda yang membawa maksud \u201cberbagai-bagai jenis\u201d. Sila lihat yang contoh berikut:\n16a.\u00a0 Dia suka makan buah-buahan tempatan.\n16b.\u00a0 Dia menghidangkan kuih-muih.\n16b.\u00a0 Dia tabah walaupun menghadapi geruh-gerah.\nAda kata ganda yang menegaskan maksud pada kata dasar. Sila lihat contoh yang berikut:\n17a.\u00a0 Dia berjalan perlahan-lahan.\n17b.\u00a0 Segala-galanya sudah selesai.\n17c.\u00a0 Itulah kejayaan yang pertama-tamanya." "Sambutan Minggu Perpaduan 2023 Peringkat Kebangsaan di Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Perpaduan Negara buat julung-julung kalinya akan menganjurkan sambutan Minggu Perpaduan 2023 yang bakal berlangsung secara serentak di seluruh negara dari 20 hingga 28 Mei ini.\nSambutan Minggu Perpaduan 2023 bertemakan Perpaduan dalam Kepelbagaian adalah untuk menyemarakkan semangat perpaduan serta menyebarluaskan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan terhadap kepelbagaian adat dan budaya dalam masyarakat Malaysia.\nKetua Penolong Setiausaha Kementerian Perpaduan, Tuan Faizal Yusop berkata sambutan Minggu Perpaduan Negara 2023 akan diadakan secara serentak di 15 lokasi seluruh negara dan sambutan peringkat kebangsaan pula akan berlangsung dari 20 hingga 26 Mei 2023 di Waterfront Kuching, Sarawak.\nKatanya, pemilihan kawasan tersebut sebagai lokasi sambutan peringkat kebangsaan adalah tepat dengan mengambil kira kepelbagaian dan keunikan etnik yang terdapat di negeri Sarawak selain lokasi tersebut terkenal dalam kalangan masyarakat.\n\u201cSambutan minggu tersebut yang julung kalinya diadakan akan menjadi inisiatif tahunan kerajaan dalam memupuk aspirasi perpaduan nasional selaras dengan konsep Malaysia MADANI yang diperkenalkan,\u201d katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia.\nBeliau berkata terdapat pelbagai aktiviti menarik yang akan berlangsung sepanjang minggu tersebut seperti Unity Run and Ride, Gerai Jualan Rahmah, jualan barangan kraftangan, jualan produk usahawan dan pameran daripada pelbagai agensi kerajaan.\nTambah beliau, kementeriannya juga akan mengadakan Pameran Rumah Etnik yang membolehkan para pengunjung melihat kepelbagaian tradisi dan budaya kaum-kaum yang ada di Malaysia termasuklah dalam aspek pakaian dan makanan tradisi.\nBeliau juga memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dijangka akan hadir mencemar duli merasmikan majlis pembukaan sambutan Minggu Perpaduan Negara 2023 peringkat kebangsaan di Waterfront Kuching, Sarawak pada 21 Mei 2023." "Usaha Mengenali Antara Satu Sama dengan yang Lain Melalui Seni Budaya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Satu pendekatan yang unik dengan menampilkan pembuatan diorama dan miniatur sebagai seni budaya untukmengenali antara satu sama dengan yang lain. Usaha ini bermula sejak tahun 2015 oleh pencinta seni budaya, Encik Foo Loke Kee, yang mempunyai minat yang mendalam dalam seni dan budaya.\nBeliau mengasaskan Galeri Seni dan Budaya World Culture Organisation (WCO) yang mengumpulkan pelbagai koleksi kraf tangan diorama silang budaya yang pertama dalam negara sehingga mendapat pengiktirafan The Malaysia Book\u00a0 of Records. Galeri Seni dan Budaya WCO telah disempurnakan perasmiannya dan meluncurkan buku khas yang bertajuk Malaysia: Menelusuri Keindahan Sejarah Negara oleh Tan Sri Dato\u2019 Sri Utama Dr. Rais Yatim, Yang di-Pertua Dewan Negara pada 16 Mac 2023 yang lepas.\nBagi meneruskan usaha mendekatkan seni budaya ini kepada rakyat, Galeri Seni dan Budaya WCO\u00a0 diberi peluang oleh Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) untuk bertindak sebagai pempamer pada Rumah Terbuka Parlimen yang berlangsung pada 6 hingga 7 Mei 2023 yang lalu di bangunan Parlimen Malaysia.\nMemetik kata-kata Tan Sri Dato\u2019 Sri Utama Dr. Rais Yatim ketika Majlis Perasmian Rumah Terbuka Parlimen Malaysia, \u201cGerbang bangunan ini membawa pengertian bahawa hak-hak yang wujud di Parlimen adalah hak rakyat\u201c, cukup sinonim dengan hasrat WCO untuk mempersembahan keunikan seni dan budaya melalui diorama dan miniatur.\nKesempatan ini digunakan sebaik mungkin oleh pasukan WCO untuk mempamerkan hasil kreativiti artis-artis WCO yang telah menghasilkan ukiran sobek pelbagai jenis bunga, diorama miniatur yang menunjukkan suasana sambutan kemerdekaan, Masjid Jamek Kuala Lumpur, suasana jualan di jalan petaling, kehidupan masyarakat di Kampung Cina, Kampung Budaya Melayu, Estet India, suasana kehidupan etnik Sarawak di Sungai Rejang dan Pasar Tamu di Kota Belud, Sabah . Selain itu, ditampilkan inovasi persembahan diorama miniatur yang digabungkan dengan elemen hologram, audio dan visual yang menjadi tarikan utama.\nReruai Galeri Seni dan Budaya WCO menjadi tumpuan para pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat Malaysia. Karya dipersembahkan oleh WCO ini juga mengimbau nostalgia tahun 1970-an hingga 1990-an ketika suasana berada di pawagam dan berada di Cameron Highlands yang telah mencuit hati golongan pengunjung merasai zaman berkenaan.\nElemen silang budaya pelbagai kaum menjadi tunjang utama dalam pameran tersebut dengan mempersembahkan hasil diorama miniatur keunikan seni budaya kaum Melayu, Cina, India , Kadazan dan Bajau dan Iban. Mengenali kostum budaya utama di Malaysia juga menjadi simbolik kepada usaha meningkatkan\u00a0 semangat Malaysia Madani yang menekankan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Turut mengunjungi reruai WCO adalah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dan Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, Datuk Nor Yahati Awang.\nWCO berteraskan visi untuk membina sebuah platform \u201cBudaya Dunia\u201c bagi mempamerkan hasil seni dan budaya dan meletakkan misi bagi mengenal pasti dan memberi motivasi kepada pencinta seni untuk mengekalkan seni warisan. WCO\u00a0 memilih dua nilai sebagai tunjang utama, iaitu mempromosikan budaya Keaslian dan Keindahan. Nilai ini menjadi asas perjuangan WCO bagi terus mengangkat seni dan budaya Malaysia di arena tempatan dan antarabangsa.\nWCO amat berterima kasih kepada agensi kerajaan yang telah memberi kerjasama, antaranya teramsuklah Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Warisan Negara, Jabatan Muzium Negara dan juga Pusat Kebudayaan China di Malaysia. Pihak WCO sentiasa mengalu-alukan semua pihak untuk tampil dan bekerjasama dalam usaha ini." "Silat Seni Jati Warisan Azam Perkasa Seni Silat Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Damansara \u2013 Pertubuhan Silat Seni Jati Warisan telah mengadakan Majlis Penyampaian Bengkung dan Selempang kali ke-10 di Pusat Latihan MSGA Sdn Bhd, Kota Damansara kepada 17 orang pesilat yang telah melepasi ujian.\n\u201cSilat merupakan salah satu seni warisan Melayu yang wajar dikekalkan kerana ianya mampu memupuk jati diri yang kuat terutama untuk generasi muda yang bakal mewarisi negara\u201c ujar Pengasas Pertubuhan Silat Seni Jati Warisan Mejar Hasrul Taufek Roslan PNBB (Lebanon) PPS PPA TUDM (Bersara).\nMajlis Pemakaian Bengkung dan Selempang merupakan majlis bagi meraikan kejayaan ahli Pertubuhan Silat Seni Jati Warisan Selangor yang telah lulus ujian kenaikan bengkung. Kenaikan bengkung adalah untuk menentukan tahap pelajaran silat yang telah dilalui oleh pesilat.\nUjar beliau lagi, silat bukan sahaja merupakan seni bela diri malah dapat mewujudkan rasa cinta pada seni warisan, menyihatkan tubuh badan dan dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam rohani para pengamalnya.\nPertubuhan Silat Seni Jati Warisan telah ditubuhkan sejak tahun 2013 dan telah melahirkan ribuan pesilat." "Syarikat Filem Hong Kong Bergabung dengan Industri Filem Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Ditubuhkan pada tahun 2013 di bawah kendalian One Cool Group, One Cool Film Production secara rasmi dan aktif melebarkan sayapnya ke seluruh rantau Asia Pasifik, dengan anak syarikat Malaysia baru-baru ini. Perasmiannya dikendalikan oleh Sam Kan, Pengarah One Cool Film Malaysia, But Tang, Pengarah Eksekutif One Cool Film Production Hong Kong, dan artis di bawah One Cool Management, Yumi Wong. Turut hadir ialah karyawan filem tempatan terkenal, Adrian Teh, artis Henley Hii dan Pauline Tan, serta pelbagai pengedar filem Malaysia.\nOne Cool Film Production komited mempromosikan Hong Kong sebagai pengeluar filem selama ini, antaranya termasuklah Men on the Dragon (2018), A Witness Out of the Blue (2019), Zero to Hero (2021), dan Warriors of Future (2022). Perluasan ini berfungsi sebagai asas bagi memulakan penerbitan filem dan televisyen di Asia Tenggara dengan mengutamakan Malaysia untuk kandungan kreatif, konsep, dan lokasi penggambaran, dengan harapan agar terus berkembang.\n\u00a0\u201cPotensi budaya di Malaysia luas, dan kami percaya idea itu berkisar tentang adat tempatan, legenda urban dan pertukaran budaya adalah amat menarik untuk penonton filem dan televisyen. Sejak mutakhir ini, kebangkitan platform digital telah memecahkan halangan hiburan global. Oleh sebab itu, produksi filem dan televisyen yang cemerlang pasti mampu mempromosikan Malaysia kepada khalayak antarabangsa dan menggalakkan pelancongan,\u201d kata But Tang.\nOne Cool Film Malaysia mula berganding bahu dengan sebuah syarikat produksi tempatan pada Disember 2022 untuk membiayai dan menghasilkan filem pertama arahan pengarah anak Pulau Pinang, iaitu Wu Peiji, berjudul The Locksmith. Sebahagian besar penggambaran filem tersebut dirakamkan di Pulau Pinang.\n\u201cPenggambaran di Malaysia bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan dan pengalaman produksi untuk penduduk tempatan, malahan mempromosikan tarikan pelancong, mengukuhkan dan mempelbagaikan struktur keseluruhan industri pelancongan,\u201d tambah beliau.\nMenurut Yumi, yang juga salah seorang penerbit bersama The Locksmith, ini percubaan pertama beliau dalam produksi bersama-sama kerana yakin penuh dengan projek berkumpulan tersebut.\n\u201cSaya tidak sabar menantikan lebih banyak inisiatif kerjasama pada masa hadapan dan mengharapkan kejayaan \u201cpecah panggung\u201d,\u201d kata Yumi yang melabur dalam filem terbitan Adrian, La Luna baru-baru ini sebagai tanda penyertaan pertamanya untuk melabur bersama-sama dalam syarikat kerjasama antara Singapura dengan Malaysia.\nDiarahkan oleh Raihan Halim dari Singapura, La Luna dibintangi pelakon terkenal Malaysia seperti Shaheizy Sam dan Sharifah Amani. La Luna dipersembahkan oleh Clover Films, Papahan Films dan Adrian Teh ACT 2 Pictures serta disokong oleh Suruhanjaya Filem Singapura, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM, kini Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).\nSementara itu, pengasas Clover Films, yang juga salah seorang penerbit La Luna, Lim Teck mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas sokongan One Cool Film Malaysia. Katanya, mereka bukan sahaja melabur dalam filem itu tetapi turut memberikan banyak sumber dan pendapat yang berharga.\n\u201cIni ialah peluang kerjasama yang hebat untuk kami. Kami juga percaya kerjasama ini dapat membawa lebih banyak pendedahan bagi filem terbitan Singapura-Malaysia,\u201d tambah Lim.\n\u00a0\nAdrian, yang juga pengarah Paskal (2018) dan Wira (2019) menganggap penubuhan One Cool Film dalam Malaysia ialah berita yang luar biasa untuk industri filem tempatan. Beliau benar-benar berharap agar kerjasama ini\u00a0 membawa kepada sesuatu yang lebih besar dan lebih banyak peluang pada masa hadapan.\nDengan penubuhan One Cool Film di Malaysia, kumpulan ini merancang kembali ke Malaysia untuk membuat penggambaran filem lain pada separuh kedua 2023 dan juga sedang berbincang untuk melabur dalam projek filem tempatan yang lain. Sebagai tambahan kepada barisan pelakon Malaysia semasa, iaitu Yumi dan Fish Liew, One Cool Film Malaysia juga sedang dalam pencarian bakat yang sesuai bagi menetapkan standard baharu untuk pasaran." "Borneo Native Festival 2023 Bawa Keunikan Budaya Borneo ke Kuala Lumpur\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Persatuan Sukaseni Kuala Lumpur (Sukaseni) sekali lagi menganjurkan Borneo Native Festival (BNF) 2023 pada tahun ini bersempena dengan sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai setelah julung-julung kali penganjurannya pada tahun lepas. BNF 2023 membawa keunikan budaya penduduk Borneo iaitu Sabah dan Sarawak ke ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur.\nPresiden Sukaseni, Rafie Syazwan Arpandi berkata festival yang berlangsung buat kali kedua ini menghimpunkan kebudayaan dua negeri iaitu Sabah dan Sarawak dalam pelbagai aspek termasuklah kraftangan, makanan tradisi, seni persembahan dan lain-lain lagi.\n\u201cPenganjuran BNF 2023 adalah bagi memperkenalkan budaya Borneo kepada penduduk Semenanjung serta membawa perayaan pesta Kaamatan dan Hari Gawai kepada warga Borneo yang tidak dapat pulang ke kampung halaman bagi meraikannya,\u201d katanya dalam program Apa Khabar terbitan Bernama TV.\nTambahnya, terdapat pelbagai reruai jualan kraf tangan dan makanan tradisi kedua-dua negeri tersebut yang melibatkan usahawan tempatan, seperti kek lapis, mi kolok, laksa Sarawak, ambuyat, batik linut, anyaman dan lain-lain lagi.\nBeliau berkata, tumpuan utama BNF 2023 pada kali ini ialah Perarakan Budaya Tradisional iaitu masyarakat peribumi dari Borneo dengan memakai pakaian tradisi masing-masing tanpa alas kaki berarak sejauh satu kilometer dari Dataran Merdeka ke Pasar Seni.\nKatanya, perarakan tersebut berlangsung pada pukul 4 petang hari Sabtu bersamaan 20 Mei 2023 dan mendapat kerjasama daripada kumpulan Gabungan Orang Asal Sabah dan Sarawak (GOASS).\n\u201cBNF pada kali ini juga menampilkan muka-muka baharu artis dari Sabah dan Sarawak bagi memberikan mereka ruang dan peluang menonjolkan bakat mereka kepada masyarakat,\u201d katanya.\nTimbalan Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Haji Fadilah Yusof turut meluangkan masa hampir 30 minit dengan mengunjungi reruai jualan serta beramah mesra dengan para peniaga dan pengunjung yang hadir semasa BNF 2023 berlangsung. BNF 2023 merupakan peluang keemasan bagi masyarakat Semenanjung untuk melihat dan mengenal budaya Borneo dengan lebih dekat." "Kumpulan theatrethreesixty Ungguli Anugerah Seni Cameronian BOH ke-18\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Selepas menyepi hampir tiga tahun, Anugerah Seni Cameronian BOH (BCAA) muncul semula dengan lebih hebat, panas dan pertama kali berlangsung di pentas teater.\nMajlis Anugerah Seni Cameronian BOH ke-18 (18BCAA) menyampaikan 30 buah anugerah dan sejumlah wang tunai RM44 000 untuk penggiat seni daripada bidang tarian, muzik, teater muzikal dan teater di Stage 1 PJPAC, yang dilengkapi peralatan berteknologi terkini di sebuah pusat beli-belah terkemuka dekat sini, yang dikendalikan oleh empat orang hos diikuti rentetan lagu dan tarian, serta Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.\nAnugerah BCAA tahun ini menampilkan sejumlah 30 kategori dalam tarian, muzik, teater muzikal dan teater, termasuk kategori Produksi Terbaik. Penerima anugerah diumumkan dalam bahagian Teknikal & Reka Bentuk, Artistik dan Persembahan. Setiap pemenang subkategori menerima trofi BCAA dan hadiah wang tunai RM1,000, manakala setiap pemenang terbaik menerima trofi BCAA, dan hadiah wang tunai RM5,000.\nEmpat orang pengacara yang hebat untuk acara \u201ctali leher hitam\u201d berdurasi dua jam itu ialah Tria Aziz, Angie Cheah, Ronnie (Mohd. Dzulhisyam Ismail), dan Nave VJ (Navindran Vijayakumar). Christopher Ling pula teruja kembali sebagai pengarah persembahan kali keempat, berkata bahawa idea untuk mempunyai kumpulan hos mencerminkan semangat komuniti seni.\nDalam acara \u201canugerah pertunjukan fesyen\u201d yang sebenar dan dengan prosiding berlangsung dalam teater yang betul, 18BCAA dapat mempamerkan pementasan daripada lima calon terbaik \u2013 A Notional History, persembahan Five Arts Centre (Teater), Dark Light (Young Choral Academy \u2013 Muzik), Dream of the Red Chamber (Lee Rubber Chinese Orchestra KL \u2013 Muzik), Follow the Light (theatrethreesixty -Teater Muzikal), dan N2 (La Danza Theatre \u2013 Tarian).\nSebuah lagi acara kemuncak 18BCAA ialah lagu pembukaan, A New Day, gubahan KuLT Productions dengan muzik dan lirik oleh Kelvin Loh, Lydia Tong dan Terence Toh yang dipersembahkan oleh empat orang hos serba boleh. Sebuah lagi balada asli karya KuLT, Setia Pada Senimu dipersembahkan oleh Tria dengan vokal yang hebat, ditemani tiga orang pengacara bersama-samanya sebagai vokal latar.\nSelepas sekian lama \u201chilang\u201d, Anugerah Pencapaian Seumur Hidup Cameronian BOH kembali tahun ini yang diberikan kepada Datuk Mohd. Baharim Mohd. Sharip, 78, seorang veteran Dondang Sayang . Dondang Sayang tersenarai sebagai warisan budaya oleh UNESCO \u2013 seni tradisional Melayu yang masih dimainkan di Melaka oleh orang Melayu, Baba Nyonya, Cheti dan Portugis.\nPemenang kesembilan Anugerah Pencapaian Seumur Hidup Cameronian BOH ini mempelajari cara bermain biola dan menyanyi mengikut gaya seni tradisional daripada datuknya yang juga seorang seniman Dondang Sayang. Beliau telah menumpukan lima dekad terakhir dalam hidupnya untuk membuat persembahan Dondang Sayang dan memiliki lima buah album.\nSementara itu, theatrethreesixty mengungguli anugerah 18BCAA apabila memenangi tujuh anugerah, iaitu empat dalam kategori Teater Muzikal, dua kategori Teater dan satu kategori Pencalonan Terbaik.\nDalam kategori Teater Muzikal, theatrethreesixty meraih kejayaan menerusi Muzik dan Lirik Asal Terbaik oleh Nick Choo, Buku Asal Terbaik (Nick Choo), Pengarahan Muzik Terbaik (Nick Choo) dan Ensemble/Kumpulan Terbaik. Kesemuanya untuk Follow the Light.\nDua anugerah yang dimenanginya dalam kategori Teater ialah Pelakon Lelaki Terbaik oleh Shah Shaha untuk 24 Jam dalam 37 Tahun dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Anissa Azis/24 Jam dalam 37 Tahun).\nFive Arts Centre pula memenangi empat anugerah iaitu dua dalam kategori Tarian, menerusi Persembahan Kumpulan Terbaik dan Koreografer dalam Tempoh Masa Panjang oleh Lee Ren Xin dan Tan Bee Hung untuk Anggota; satu kategori Teater, iaitu Skrip Asal Terbaik oleh Faiq Syazwan Kuhiri, Rahmah Pauzi, Fahmi Reza dan Mark Teh bagi A Notional History.\nSeterusnya, Ballet Theatre Malaysia meraih tiga kejayaan dalam kategori Tarian, iaitu Rekaan Pencahayaan Terbaik oleh Tan Eng Heng, Rekaan Set dan/atau Visual Terbaik menerusi Passion Ma serta Kostum, Gaya dan Solekan Terbaik oleh Queenie Chong. Kesemuanya untuk Alice in Wonderland.\nLee Rubber Chinese Orchestra KL juga memenangi tiga kategori iaitu Tarian menerusi Persembahan Kumpulan Terbaik \u2013 Instrumental untuk The Lantern Festival in Dream of The Red Chamber dan Nilai Produksi Terbaik (Dream of the Red Chamber) serta satu Pencalonan Terbaik (Dream of the Red Chamber).\nIron Gang Puppet Theatre (IGPT) dan The Actors Studio Seni Teater Rakyat & Japan Foundation KL (TASSTR&JFKL) masing-masing meraih dua kejayaan.\nIGPT memenangi Rekaan Pencahayaan Terbaik oleh Nicxon Tan dan Rekaan Muzik dan Bunyi Terbaik menerusi Fazz. Kedua-duanya untuk Ibu dalam kategori Teater.\nSementara TASSTR&JFKL pula memenangi Rekaan Kostum, Gaya & Solekan Terbaik oleh Wendy Kwek untuk Rashomon dalam kategori Teater dan Pengarahan Muzik Terbaik oleh Ian Chow, Easee Gan & Jacqueline Teng bagi Cabaret Series: Golden Melody dalam kategori Tarian.\nPemenang lain 18BCCA termasuklah (sekadar menyebut beberapa) TFA Inner Space Dance Company oleh Rohini Umesh Shetty dalam kategori Pelaku Utama Penampilan Terbaik, untuk Sadhana \u2013 The Grace Through Kathak, kategori Tarian, Damansara Performing Arts Centre (Koreografer Terbaik dalam Karya Campuran/ Raziman Sarbini/The Other Creatures-Creature Trilogy/Tarian), Geetha Shankaran Dance (Rekaan Bunyi & Muzik Terbaik/Jyotsna Prakash & Hariraam Tingyuan Lam/Kinnara \u2013 Moon People/Tarian), Caeleb Tee Music (Persembahan Solo Terbaik \u2013 Instrumental/Poom Prommachart/Love & Strength/Tarian), Viva Opera (Persembahan Solo Terbaik/Cecilia Yap/A Pilgrim\u2019s Song/Viva Opera/Tarian), dan Revolution Stage & LiveInMyPoetry (Persembahan Kumpulan/Ensemble Terbaik/Bangsawan Indie: Raja Bersiong/Teater).\n\u201cGamechanger\u201d turut diumumkan iaitu penerbit muzik kelahiran Kuching, Alvin Wee, yang merupakan rakyat Malaysia pertama memenangi Anugerah Cinema Audio Society (CAS) di Hollywood untuk Anugerah Pencapaian Luar Biasa dalam Adunan Muzik bagi karyanya dalam filem animasi Disney, Encanto.\nWee juga bekerja dalam pelbagai filem pecah panggung lain termasuk Kingsman: The Secret Service (2014), Mulan (2020), No Time to Die (2021), dan TopGun: Maverick (2022). Beliau terus menghasilkan karya di luar negara dan turut menyumbangkan bakatnya untuk pelbagai projek termasuk lagu Malaysia Prihatin (2020) untuk Hari Malaysia dan Sarawak Gemilang (2021) untuk Hari Sarawak.\nBCAA Gamechangers merupakan individu atau organisasi yang telah memberikan kehangatan buat industri dengan bakat artistik yang tersendiri. Sewaktu musim Cammies, mereka dijemput untuk berkongsi pengalaman dan perjalanan kerja mereka dalam bidang minat dan profesionalisme masing-masing.\nDibawakan oleh BOH Plantations dan Kakiseni dengan firma perakaunan bertauliah BDO Malaysia sebagai rakan pengundian baharunya, majlis 18BCAA dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations Sdn. Bhd., Jason Foo; Presiden Persatuan Kakiseni, Low Ngai Yuen dan beberapa orang tokoh industri seni termasuk penerbit-pelakon Puan Sri Tiara Jacquelina serta Ketua Pegawai Eksekutif di Yayasan Sime Darby, Dr. Hajah Yatela Zainal Abidin; Wanita Pertama Teater Malaysia, Dato\u2019 Dr. Faridah Merican serta pemuzik dan pengasas Penang House of Music, Paul Augustin.\nDalam ucapan perasmiannya, Jason Foo mengucapkan tahniah kepada semua pemenang 18BCAA serta menyanjungi semangat ketekunan dan keazaman semua yang terlibat dalam sektor seni persembahan tempatan yang berjaya menempuhi COVID-19 2020-2022.\n\u201cSelepas dilancarkan pada tahun 2002, BCAA sentiasa menjadi pencapaian industri yang ditunggu-tunggu untuk meraikan bakat, kontribusi dan inspirasi cemerlang dalam industri seni persembahan,\u201d ujar Foo.\nTambah beliau, 18BCAA membawa maksud yang lebih mendalam sebagai bukti yang kuat kepada kemahuan jiwa manusia yang memberi tumpuan kepada semangat, ketabahan dan versatiliti. Faktor \u201cummph\u201d ini, katanya lagi, telah membantu penggiat seni mengharungi tahun-tahun sukar dapat terus bertahan.\n\u201cHasilnya,\u00a0 kini kita berada di ambang permulaan baharu untuk meraikan \u201cA New Day Setia Pada Senimu\u201d. Kami kini yakin industri seni persembahan boleh mencapai tahap kecemerlangan kreatif yang lebih tinggi,\u201d kata Foo.\nLow pula menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai tema 18BCAA, A New Day. Setia Pada Senimu bukan sahaja cerminan sebenar semangat komuniti seni persembahan yang telah bangkit daripada abu dengan semangat yang diperbaharu, tetapi juga rayuan agar seni turut menyertai usaha pemulihan Malaysia.\n\u201cGesaan kami untuk bertindak melalui 18BCAA, #setiapadasenimu, adalah seruan untuk mempercepat kebangkitan seni. Kita memerlukan artis untuk terus bekerja dan berkarya. Kami merayu syarikat dan organisasi seni agar bertahan dan dengan rendah hati meminta penonton kembali ke teater. Kami menyeru tindakan yang lebih cepat, progresif diikuti pelaburan kewangan untuk merangsang semula sektor ini sekarang,\u201d tegas Low sambil menambah pada masa-masa ketidakpastian inilah seni diperlukan lebih daripada sebelumnya.\nKata Low, memang penting seni tidak dilupakan. Walau bagaimanapun sebaliknya, tambah beliau, melalui karya yang mencerminkan, membentangkan dan memaparkan kisah hidup, seni terus menjadi saluran penting untuk menyokong kesejahteraan umum sebagai masyarakat dan bertindak sebagai pelepasan emosi untuk semua.\nTambah Low, pengaturcaraan musim 18BCAA membuktikan bahawa sektor seni telah melakukan yang terbaik untuk bangkit daripada pengalaman pahit yang dilalui semua semasa COVID-19.\n\u00a0\n\u00a0\nSementara itu, dalam ucapan ringkas tetapi menyentuh hati, Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan & Kesenian) Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN), Rosnan Nordin memberikan penghormatan kepada semua yang hadir dengan penegasan bahawa \u201cseni menyatukan semua kaum\u201d. Beliau mengingatkan bahawa yang tetap dimiliki adalah integriti serta semangat dan jangan mengalah." "Manifestasi Masyarakat Madani dalam Festival Bahasa dan Seni Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBatu Pahat \u2013 Festival Bahasa dan Seni Kebangsaan anjuran Sekretariat Debat Bahasa Melayu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dan Sekretariat Rukun Negara UTHM telah berlangsung pada 18 Mei hingga 19 Mei 2023 di UTHM. Festival ini dirasmikan oleh Dr. Lutfan bin Jaes, Dekan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum mewakili Naib Canselor UTHM, Profesor Ir. Ts. Dr. Ruzairi bin Abdul Rahim.\nBersempena dengan festival ini juga, pihak penganjur turut mengadakan Bazar Buku UTHM yang telah menyediakan reruai kepada 19 penerbit buku daripada Selangor, Melaka dan Johor di ruang legar, Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA). Pameran dan jualan buku ini telah memberikan peluang kepada hampir 3000 orang pengunjung mendapatkan buku pelbagai genre yang diminati. Terdapat beberapa aktiviti selingan telah diadakan di pentas mini seperti persembahan nyanyian, deklamasi puisi, pelancaran buku dan persembahan resensi buku bagi memeriahkan lagi Bazar Buku UTHM.\nSelain Bazar Buku UTHM, pihak penganjur turut menganjurkan sesi intelektual yang dikendalikan oleh Dr. Hjh. Maskiah binti Masrom, Ketua Pusat Penyelidikan dan Penerbitan, Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) dengan tajuk \u201cGaya Bahasa dalam Pantun Kelakar Tenas Effendy\u201d. Sesi intelektual yang berlangsung selama dua jam ini mengupas tentang metafora dan perlambangan dalam pantun-pantun Allahyarham Dr. Tenas Effendy yang diolah menggunakan gaya bahasa yang bersahaja, lucu dan sinis dalam konteks kehidupan masyarakat sehari-hari. Pertandingan pidato turut diadakan melibatkan penyertaan mahasiswa tempatan daripada pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara dan mahasiswa antarabangsa Festival Bahasa dan Seni Kebangsaan UTHM.\nMajlis penutupan program ini disempurnakan oleh Encik Mahadzir bin Mat Zili, pegawai khas Ahli Parlimen Sri Gading, YB Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan. Beliau berpesan kepada generasi muda khususnya mahasiswa IPT agar meningkatkan penguasaan bahasa Melayu yang baik dan betul di samping membina jati diri melalui aktiviti seni agar sentiasa relevan sepanjang zaman.\nMajlis ini diserikan lagi dengan pertandingan peringkat akhir Debat Parlimen Batu Pahat antara Sekolah Menengah Sains Batu Pahat dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Medan.\nSyabas dan tahniah diucapkan kepada SM Sains Batu Pahat yang telah dinobatkan selaku Juara Pertandingan Debat Parlimen Batu Pahat. Pertandingan pidato kategori terbuka pula dijuarai oleh saudari Sufiatul Farzana binti Rashidi, wakil Universiti Malaya, manakala saudari Diani Galih Saputri yang berasal daripada Malang, Indonesia pula diumumkan sebagai juara bagi kategori antarabangsa.\nTurut hadir dalam majlis penutupan, Prof. Sr. Ts. Dr. Lokman Hakim bin Ismail, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Encik Mohd Riduwan bin Wahab, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan dan Encik Azman bin Khambali, Timbalan Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat.\nProgram yang turut mendapat kerjasama daripada YB. Tuan Haji Onn bin Abu Bakar, Ahli Parlimen Batu Pahat, Tunas Selatan Construction Sdn. Bhd., Dewa Master Resources, Ziegers Printing dan beberapa individu serta syarikat lain ini diharapkan dapat diteruskan lagi pada masa hadapan sebagai manifestasi masyarakat madani yang ditekankan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia." "Peluang Tonjol Kreativiti dalam Pertandingan UOB Painting of the Year (Malaysia) ke-13\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 UOB Malaysia telah melancarkan pertandingan UOB Painting of the Year (POY) (Malaysia) ke-13 dan mengundang para pelukis mapan dan baharu untuk mendedahkan bakat seni sambil mempamerkan kemahiran seni mereka.\nPoster pertandingan UOB Painting of the Year (Malaysia) ke-13.\nPertandingan UOB POY ialah program seni visual serantau utama UOB Malaysia dan menjadi satu daripada pertandingan seni tahunan paling berprestij di Asia Tenggara. Pertandingan ini diadakan bertujuan untuk mencungkil dan memupuk bakat seni di seluruh rantau ini. Pada tahun ini, pertandingan seni serantau ini telah berkembang ke Vietnam yang membolehkan lebih ramai pelukis memaparkan minat mereka terhadap seni.\nPuan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia berkata,\nDi UOB Malaysia, kami berpendapat bahawa seni memainkan peranan sebagai pemangkin masyarakat dalam meningkatkan perubahan sosial, mewujudkan keterlibatan yang lebih besar dan juga menyatukan rakyat berbagai-bagai budaya dan latar belakang. Seni juga berupaya mendekatkan komuniti dengan meluaskan pemahaman antara satu sama lain. Oleh yang demikian, kami sentiasa berusaha menjadikan seni lebih mudah diakses oleh masyarakat yang lebih luas. Selaras dengan matlamat bank untuk \u2018Membina Masa Depan ASEAN\u2019, pelancaran edisi ke-13 pertandingan seni tahunan UOB POY ini mengukuhkan sokongan berterusan kami terhadap seni di Malaysia, di samping komitmen kami untuk memupuk generasi pelukis Asia Tenggara yang akan datang, selain membantu mereka mencapai potensi penuh mereka.\nPemenang utama negara akan menerima hadiah bernilai RM100 000, sekali gus menjadi antara lima orang pemenang bagi setiap negara termasuk Singapura, Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam yang akan bersaing untuk anugerah terkemuka UOB POY Asia Tenggara, serta memenangi hadiah tambahan bernilai S$13 000. Pemenang juga berpeluang menghadiri program residensi di Muzium Seni Asia Fukuoka yang terkenal di Jepun.\nBagi meneruskan lagi sokongan terhadap usaha seni para pelukis di rantau ini, UOB Malaysia meningkatkan jumlah hadiah wang tunai bagi Kategori Pelukis Baharu, iaitu pemenang Pelukis Harapan, yang akan menerima RM16 000 pada tahun ini berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini.\nPenyertaan pertandingan ini dibuka bermula pada hari ini hingga 31 Julai 2023. Pertandingan ini juga terbuka kepada semua warganegara Malaysia dan pemastautin tetap. Pemenang anugerah UOB POY (Malaysia) ke-13 akan diumumkan di majlis anugerah pada bulan September 2023." "Pesona Langkawi Seni Budaya Dan Pelancongan 2023 Gamit Pelancong dari Seluruh Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi\u00a0\u2013\u00a0 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan\u00a0Langkawi (LADA) menganjurkan Program Pesona Langkawi Seni Budaya dan Pelancongan 2023 selama empat hari di Dataran Lang, Langkawi, Kedah bermula semalam.\nProgram ini diadakan bersempena dengan penganjuran Langkawi International Maritime And Aerospace Exhibition (LIMA\u201823). Penganjuran program ini ialah salah satu inisiatif kementerian bagi menyemarakkan kegiatan ekonomi di negeri Kedah yang melibatkan ramai pihak, terutama kepada penggiat industri pelancongan, seni, budaya dan warisan.\nProgram ini juga memberi peluang kepada pelancong dalam dan luar negara untuk mengenali dan menikmati keindahan serta keunikan kepelbagaian aspek seni, budaya dan warisan negara. Antara pengisian menarik dalam program itu ialah Persembahan Khas Muzikal Tari \u201cKeajaiban Puteri Langkawi\u201d, Persembahan Colors of Malaysia, Permainan Tradisional, Pertandingan Battle of The Buskers, Persembahan Muzik Asli dan Cak Lempong, Larian Sarong, Senam Seni, Pameran,\u00a0Food Fusion dan Community Based Arts.\nTurut diadakan sama, Pertandingan Sepak Raga Tuju, Pertandingan Masakan Tradisional Langkawi, Pertandingan Kebaya Malaysia dan Pertandingan Nyanyian Irama Malaysia.\nKetua Setiausaha MOTAC, YBhg. Datuk Hajah Saraya Arbi ketika merasmikan program itu semalam berkata:\n\u201cPulau Langkawi adalah antara destinasi pelancongan utama bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2025 nanti. Program Pesona Langkawi adalah permulaan ke arah menggalakkan pemuliharaan seni dan budaya penggiat-pengiat seni khususnya di Pulau Langkawi.\n\u201cKepelbagaian budaya rakyat Malaysia dari segi pakaian, makanan dan kesenian memberikan pengalaman yang berbeza kepada para pelancong dan seterusnya mempelbagaikan produk pelancongan demi merancakkan industri pelancongan negara,\u201c.\nMenurut beliau, Malaysia MADANI ialah konsep yang dijulang kerajaan untuk mewujudkan sebuah negara\u00a0 cemerlang, sejahtera dan berdaya saing tinggi melalui pembangunan yang lestari serta berkualiti.\n\u201cEkonomi seni budaya ialah satu aset berpotensi besar dalam menjana ekonomi negara dan pelbagai usaha perlu dioptimumkan secara strategik. Sebagai persediaan ke arah Tahun Melawat Malaysia 2025 nanti yang menjangkakan ketibaan 23.5 juta pelancong antarabangsa dengan unjuran pendapatan RM76.8 bilion. Saya percaya Pulau Langkawi akan terus mendapat perhatian di peringkat antarabangsa,\u201c kata beliau lagi." "Band SOG bakal menggegarkan Jiospace dengan \u201cKonsert SOG Reimaginasi\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cSekumpulan Orang Gila\u201d atau lebih dikenali sebagai SOG, kumpulan indie yang terkenal dengan kebolehan muzikal dan persembahan secara langsung yang amat bertenaga, akan mengadakan konsert terbaharu mereka pada 17 Jun 2023 di Jiospace, Petaling Jaya.\nSOG telah memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-36 pada tahun 2022, sebuah anugerah muzik yang berprestij di Malaysia dan juga Anugerah Industri Muzik (AIM) untuk kategori Lagu Rock Terbaik pada tahun yang sama. Band ini telah membuktikan bahawa mereka mempunyai kebolehan muzikal dan memperoleh pengiktirafan daripada pengkritik dan peminat muzik.\nIdea untuk mengadakan konsert ini bermula daripada kehangatan dan penerimaan baik peminat pada konsert yang lepas pada 16 Oktober 2016 di UiTM Shah Alam dengan kerjasama Jennifer Thompson. Dianggarkan sebanyak 500 orang peminat telah hadir memenuhi setiap ruang di konsert tersebut. Kini bagi memenuhi permintaan kawan-kawan dan peminat, SOG bakal beraksi di gelanggang yang lebih luas agar dapat menghiburkan lebih ramai khalayak. Konsert ini dijangka berlangsung selama 2 jam bermula pada pukul 8.30 malam.\nSOG ialah kumpulan pemuzik yang suka mencuba sesuatu yang baharu dan mencabar diri bertujuan untuk menjadi pengkarya yang lebih \u201cmewah\u201d dengan ilmu serta pengalaman. Sebelum ini mereka telah bereksperimen mengadunkan elemen muzik tradisional dan kebudayaan dalam lagu-lagu SOG. Bagi menampilkan kelainan, mereka bakal beraksi pula dengan kumpulan orkestra simfoni yang sering dikaitkan dengan bunyi-bunyian klasik Barat.\nPada kali ini, SOG berkarya dengan diiringi kumpulan orkestra simfoni yang dianggotai oleh 30 orang pemuzik berserta alat-alat muzik bertali, woodwind dan brass. Semestinya karya-karya SOG sebelum ini yang berentak post-harcore atau modern rock akan lebih epik dengan kehadiran kumpulan orkestra simfoni tersebut.\n\u201cKami sangat teruja untuk mengadakan konsert ini dan berazam untuk menyajikan persembahan terbaik demi peminat-peminat kami. Konsert kali ini pasti memberikan pengalaman yang akan dikenang oleh semua yang hadir,\u201c kata salah seorang ahli SOG.\n\u201cKonsert SOG Reimaginasi\u201d ini turut menampilkan artis-artis undangan, seperti Shila Amzah, Naim Daniel dan Asmidar. Semua artis yang membuat persembahan pada malam itu cukup dikenali dalam arena muzik Malaysia. Konsert ini diterbitkan oleh kumpulan SOG sendiri dengan kerjasama MK Ridzuan Edutainment. Dana bagi mengendalikan konsert ini pula adalah daripada MyCreative Ventures di bawah program Muzik Malaysia dan Dana Kandungan Digital Industri Muzik 2023." "Antara Kata Hubung dengan Penanda Wacana\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata hubung ialah kata tugas yang menghubungkan klausa dengan klausa dalam satu ayat majmuk. Klausa ialah binaan yang ada subjek dan predikat tetapi tidak mempunyai kesenyapan di awalnya dan di hujungnya. Oleh itu, klausa mungkin mempunyai struktur sebagai ayat tetapi bukan ayat. Sila lihat contoh yang berikut:\n1. Dia rajin belajar.\n2. Dia rajin belajar untuk lulus.\nAyat 1 merupakan ayat yang sempurna kerana mempunyai struktur binaan subjek + predikat, di samping bermula dan berakhir dengan kesenyapan.\nDalam ayat 2, terdapat dua klausa, iaitu klausa utama dia rajin belajar dan klausa keterangan untuk (dia) lulus. Kedua-dua klausa mempunyai struktur binaan subjek + predikat tetapi klausa dia rajin belajar hanya bermula dengan kesenyapan, sementara klausa untuk (dia) lulus hanya berakhir dengan kesenyapan. Dalam hal ini, unsur yang menghubungkan kedua-dua klausa tersebut ialah kata hubung untuk. Dengan itu, terhasillah ayat majmuk pancangan keterangan tujuan.\nWacana atau discourse ialah kesatuan makna yang menghubungkan pelbagai klausa, ayat, perenggan, bab, atau buku. Satu wacana memperkatakan atau membicarakan sesuatu perkara dengan memelihara kejeleketan linguistik atau kohesi dan kejeleketan makna atau koheren. Penanda wacana pula merupakan unsur yang menghubungkan atau mengaitkan pelbagai entiti dalam sesuatu wacana. Penanda wacana boleh hadir di dalam ayat majmuk atau di luarnya.\n3. Mula-mula dia bangun, kemudian dia membersihkan diri, seterusnya dia bersarapan dan akhirnya dia pergi ke tempat kerja.\n4. Dia sakit. Oleh itu, dia tidak hadir.\nDalam ayat 3, terdapat pelbagai kata hubung atau penanda wacana dalam ayat majmuk, iaitu mula-mula, kemudian, seterusnya, dan, dan akhirnya. Semua kata hubung atau penanda wacana tersebut berada dalam struktur ayat majmuk untuk menghubungkan pelbagai klausa yang terkandung dalamnya.\nBagi contoh 4 pula, penanda wacana oleh itu berada di luar ayat untuk menghubungkan ayat dia sakit dengan ayat dia tidak hadir.\nPersamaan antara kata hubung dengan penanda wacana adalah seperti yang berikut:\na. kedua-duanya merupakan unsur penghubung;\nb. kata hubung menghubungkan klausa dalam ayat majmuk, tetapi penanda wacana menghubungkan klausa atau binaan yang lebih besar;\nc. semua kata hubung ialah penanda wacana, tetapi tidak semua penanda wacana merupakan kata hubung;\nd. kata hubung merupakan subset penanda wacana, iaitu penanda penghubung.\nKata hubung dan penanda wacana penghubung hanya merupakan unsur penghubung antara entiti bahasa, dan bukan sebahagian daripada subjek atau predikat ayat. Sila lihat contoh yang berikut:\n5. Dia malu kerana berbuat salah.\nKlausa 1: dia malu (FN + FA)\nKlausa 2: dia berbuat salah (FN + FK)\nKata hubung/penanda wacana: kerana\n6. Dia berbuat salah. Oleh itu, dia malu.\nAyat 1:\u00a0 Dia berbuat salah. (FN + FK)\nAyat 2:\u00a0 Dia malu. (FN + FA)\nPenanda wacana: oleh itu\nTerdapat lima jenis penanda wacana, iaitu penanda penghubung, penanda rujukan, penanda penggantian, penanda leksikal dan penanda elipsis atau pengguguran.\nPenanda penghubung ialah kata atau frasa yang menghubungkan maklumat yang terkandung dalam klausa, ayat, dan sebagainya. Pada peringkat ayat majmuk, penanda penghubung sama dengan kata hubung. Sila lihat contoh yang berikut:\n7a.\u00a0 Dia bukan sahaja malas, malahan nakal.\n7b.\u00a0 Dia malas. Malahan, dia nakal.\nDalam ayat 7a, terdapat kata hubung berpasangan bukan sahaja . malahan yang menghubungkan klausa dia malas dengan klausa dia nakal. Kata hubung itu juga merupakan penanda penghubung tambahan. Dalam contoh 7b, kata malahan merupakan penanda penghubung tambahan yang menghubungkan ayat, bukan kata hubung.\n8a. Dia lemah lembut tetapi berpendirian.\n8b. Dia lemah lembut. Namun begitu, dia berpendirian.\nDalam ayat 8a, terdapat kata hubung tetapi yang menghubung klausa dia lemah lembut dengan klausa dia berpendirian. Kata hubung itu juga merupakan penanda penghubung tentangan. Dalam contoh 8b, frasa namun begitu merupakan penanda penghubung tentangan yang menghubungkan ayat, bukan kata hubung.\n9a.\u00a0 Kerana dia degil, dia dimarahi.\n9b.\u00a0 Dia degil. Oleh itu, dia dimarahi.\nDalam ayat 9a, terdapat kata hubung kerana yang menghubung klausa dia degil dengan klausa dia dimarahi. Kata hubung itu juga merupakan penanda penghubung musabab. Dalam contoh 9b, frasa namun begitu merupakan penanda penghubung musabab yang menghubungkan ayat, bukan kata hubung.\n10a.\u00a0 Dia balik, kemudian dia berehat.\n10b.\u00a0 Dia balik. Selepas itu, dia berehat.\nDalam ayat 10a, terdapat kata hubung kemudian yang menghubung klausa dia balik dengan klausa dia berehat. Kata hubung itu juga merupakan penanda penghubung tempoh. Dalam contoh 10b, frasa selepas itu merupakan penanda penghubung tempoh yang menghubungkan ayat, bukan kata hubung.\nPenanda wacana yang bukan kata hubung ialah penanda rujukan, penanda penggantian, penanda leksikal dan penanda elipsis atau pengguguran. Sila lihat contoh yang berikut:\n11. Ali, Ahmad dan Abu berkawan. Mereka sering bermain bersama-sama.\n12. Dia membeli buku import. Buku itu mahal.\nDalam contoh 11, kata ganti nama diri mereka dalam ayat kedua ialah penanda rujukan yang merujuk Ali, Ahmad dan Abu dalam ayat pertama.\nDalam contoh 12, kata ganti nama tunjuk itu ialah penanda rujukan yang merujuk buku import dalam ayat pertama. Oleh itu, kata ganti nama diri dan kata ganti nama tunjuk dapat berfungsi sebagai penanda rujukan.\nPenanda penggantian ialah kata atau frasa yang menggantikan kata atau frasa lain dalam wacana yang sama. Sila lihat contoh yang berikut:\n13. Gejala sosial semakin leluasa. Hal tersebut harus ditangani.\n14. Dia sering ponteng sekolah. Perbuatan itu merugikannya.\n15. Ada orang menganggap kemahiran lebih penting daripada pengetahuan. Bahawa mereka beranggapan begitu tidak pelik.\nPenanda leksikal melibatkan pengulangan kata dengan kata yang sama atau kata yang ada kaitan dalam wacana yang sama. Sila lihat contoh yang berikut:\n16. Ali hadir. Ahmad juga hadir.\n17. Bunga itu harum. Bau wanginya memikat hati orang.\n18. Dia suka makan ikan, termasuk temenung, tenggiri, bawal dan tuna.\n19. Dia handal dalam sukan renang. Dia mahir dalam gaya bebas, kuak dada, kuak kupu-kupu dan kuak lentang.\nDalam contoh 16, terdapat pengulangan kata yang sama dalam ayat kedua, iaitu hadir.\nDalam contoh 17, terdapat sinonim kata harum dalam ayat kedua, iaitu wangi.\nDalam contoh 18, terdapat pelbagai jenis ikan dalam ayat kedua.\nDalam ayat 19, terdapat pelbagai gaya renang dalam ayat kedua.\nPenanda elipsis atau pengguguran melibatkan pengguguran kata atau frasa yang sudah disebut dalam wacana yang sama. Sila lihat contoh yang berikut:\n20. Minggu lepas kelas itu melawat kilang-kilang. Guru-guru juga turut sama.\nPenanda penghubung tidak menjadi subjek atau predikat ayat. Namun begitu, penanda rujukan, penanda penggantian, penanda leksikal dan penanda elipsis atau penanda pengguguran boleh menduduki gatra subjek atau predikat dalam ayat yang berkaitan, atau bahagian-bahagiannya. Sila lihat contoh yang berikut:\n21. Dia membeli buku import. Buku itu mahal.\n22. Gejala sosial semakin leluasa. Hal tersebut harus ditangani.\n23. Dia handal dalam sukan renang. Dia mahir dalam gaya bebas, kuak dada, kuak kupu-kupu dan kuak lentang.\n24. Minggu lepas kelas itu melawat kilang-kilang. Guru-guru juga turut sama.\nDalam ayat 21, penanda rujukan itu menjadi penentu bagi frasa nama subjek buku itu.\nDalam ayat 22, frasa hal tersebut menjadi subjek ayat.\nDalam ayat 23, frasa gaya bebas, kuak dada, kuak kupu-kupu dan kuak lentang menjadi sebahagian daripada predikat ayat.\nDalam ayat 24, frasa kerja turut sama menjadi predikat ayat.\nPenanda wacana bukan sahaja dapat menghubungkan ayat, malahan penanda wacana dapat menghubungkan entiti yang lebih besar. Sila lihat contoh yang berikut:\n25. Kalau perenggan pertama menjelaskan punca gejala sosial, perenggan ini akan menjelaskan kesannya.\n26. Dalam bab pertama, kita telah berbincang tentang golongan kata. Dalam bab ini, kita akan berbincang tentang pembentukan kata.\n27. Buku pertama menghuraikan aspek morfologi. Buku kedua pula menghuraikan aspek sintaksis." "Pameran Karya Tiga dan Dua Dimensi Anis Che Mat dalam Facing the Mask\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pameran Anis Che Mat: Facing The Mask di Ruang Kreatif Galeri Seni, Pusat Pelancongan Malaysia, Jalan Ampang yang bermula dari 14 April hingga 14 Jun 2023 merupakan sebuah pameran solo yang mempamerkan karya-karya lakaran, lukisan, catan dan arca oleh artis muda, Anis Che Mat.\nTanpa bayaran masuk, pameran ini mempamerkan lebih 50 karya yang dihasilkan dari tahun 2016 hingga 2022. Pameran ini memaparkan pengkajian Anis terhadap siri lukisan dan catan figura yang mula dihasilkan sejak tujuh tahun lalu.\u00a0 Apabila COVID-19 melanda seluruh dunia, Anis mula memberikan tumpuan pada siri-siri arca topeng hingga kini. Beliau yang meminati seni penghasilan topeng mendapat ilham berkarya ketika wabak pandemik maut itu melanda negara dan menyebabkan rakyat terpaksa berkurung di rumah.\nDalam erti kata lain, Facing The Mask atau di sebalik topeng ialah refleksi Anis terhadap cabaran kehidupan manusia semasa COVID-19 menerusi penghasilan topeng-topeng muka.\nMengenai persoalan menggunakan facing the mask dan bukan facing the virus, Anis menjawab ketika kita memakai topeng atau pelitup separuh muka dan melihat cermin, kita melihat wajah kita tersembunyi di sebaliknya.\n\u201cBaik atau buruk wajah kita, wajah tersebut terlindung dan tidak dapat dilihat oleh orang lain. Jika buruk, kita tentu dapat menyembunyikannya di sebalik topeng. Jika elok pula, niat untuk mempamerkannya terhalang oleh topeng,\u201d kata Anis yang turut melihat pemakaian pelitup muka kini menjadi \u201ctopeng\u201d wajib untuk setiap individu mendepani penularan COVID-19.\n\u201cGabungan fesyen dan situasi ketika ini memberi inspirasi kepada saya untuk berkarya yang melihat perspektif orang ramai mengenai penggunaan topeng yang berbeza daripada menggunakan pelitup muka bagi melindungi keselamatan kesihatan peribadi,\u201d tambah Anis, yang juga salah seorang peserta Bakat Muda Sezaman 21.\nUntuk Bakat Muda Sezaman kali ini, beliau mempertaruh idea eksperimen sosial mengenai COVID-19, malah mengingatkan kita mengenai sejarah pandemik yang telah meragut banyak nyawa. Seperti dimaklumi topeng adalah satu objek \u201cikonik\u201d yang menjadi keperluan ketika ini tanpa wujud persempadanan bangsa, pangkat, pendapatan dan kepercayaan,\u201d jelas Anis lagi.\nAntara karya Anis yang dipamerkan termasuklah Plague-Punk I yang dihasilkan pada tahun 2017 diperbuat daripada kulit, besi keluli dan tread berukuran 30 sentimeter X 45 sentimeter X 20 sentimeter, berharga RM1,700, Slip-Punk I (2020/kulit, besi keluli & renda/30 cm X 45 cm X 20 cm/RM2,200), Call The Doctor II (2020/pensil warna atas kertas kraf/60 cm X 90 cm/RM2,800), Persona I, II & III (2021/arang & pastel lembut atas kertas/RM2,500 sekeping), dan Joker I (2022/kulit, besi keluli & tread/30 cm X 45 cm X 20 cm/RM2,500).\nAnis turut mempamerkan karya yang paling disukainya dan paling sukar dihasilkan, yang mengambil masa dua bulan \u2013 paling lama, iaitu Black Death II pada tahun 2021 daripada kulit dan cat minyak atas aluminium, berukuran 180 sentimeter X 120 sentimeter berharga RM8,000.\nPerasmian pameran Anis Che Mat: Facing The Mask telah disempurnakan oleh pensyarah kanan Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Dr. Fuad Arif pada 21 Mei lalu.\nTurut hadir ialah kurator/kuratis pameran, Faizal Sidik, ibu bapa Anis dari Kelantan, para tetamu jemputan dan peminat seni tanah air." "Pejabat China Publishing Group Dirasmikan di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Majlis Perasmian Pejabat China Publishing Group di Malaysia telah disempurnakan oleh YB Senator Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di aras 5, Wisma DBP pada pagi tadi.\nDalam ucapan perasmian, YB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan menyatakan harapan beliau agar beberapa projek kerjasama antara DBP, Persatuan Kebudayaan Han Malaysia dengan China Publishing Group yang merangkumi bidang penerbitan, penterjemahan dan kebudayaan akan dapat direalisasikan bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.\n\u201cSaya berharap Persatuan Kebudayaan Han Malaysia dapat mengusahakan terjemahan karya agung dan bahan ilmu dalam bahasa Melayu ke dalam bahasa Mandarin,\u201d kata YB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan.\nTambah YB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan, China Publishing Group sebagai penerbit besar yang saban tahun menerbitkan hampir 2000 judul buku dapat menjadi sumber bahan, seperti karya agung klasik China, serta bahan ilmu dalam pelbagai bidang untuk diterjemahkan dan diterbitkan dalam bahasa Melayu.\nBeliau turut mengalu-alukan kerjasama antara DBP, Persatuan Kebudayaan Han Malaysia dengan China Publishing Group. Kerjasama ini menjadi tanda hubungan persahabatan antara Malaysia dengan China, khususnya dalam bidang ilmu, sastera dan penerbitan.\nMenurut Dr. Wu Wenxue, Pengurus Besar China Publishing menerusi ucapannya, kerjasama yang diadakan tersebut dapat mengukuhkan hubungan antara Malaysia dengan China serta meningkatkan usaha dalam konteks pelesenan penerbitan, kegiatan penterjemahan dan penjenamaan produk penerbitan.\nYBhg. Dato\u2019 Goh Hin San, Presiden Persatuan Kebudayaan Han Malaysia melalui kata alu-aluanya juga turut berharap agar kerjasama penerbitan tersebut akan memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia dan China. Jelas YBhg. Dato\u2019 Goh, dengan adanya pejabat China Publishing Group, pelbagai kegiatan kesusasteraan dan kebudayaan juga dapat diadakan.\nTurut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato\u2019 Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah DBP dan Puan Mariati Josepha Mustafa, Ketua Bahagian Pengeluaran dan Penyelarasan Penerbitan DBP." "Sambutan Minggu Perpaduan 2023 Negeri Kedah Pererat Hubungan Pelbagai Kaum\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani \u2013 Sebanyak 17 rakan strategik daripada pelbagai agensi tampil memeriahkan Sambutan Minggu Perpaduan 2023 Peringkat Negeri Kedah anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Kedah yang bertujuan membentuk sebuah negara pelbagai kaum yang harmoni, sejahtera dan stabil di Central Square, Sungai Petani, Kedah, semalam.\nAntara rakan strategik yang menyertai program tersebut termasuklah Pejabat Daerah Kuala Muda, Arkib Negara Malaysia Negeri Kedah/Perlis, Majlis Perbandaran Sungai Petani, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda, Jabatan Penjara Sungai Petani, Muzium Arkeologi Lembah Bujang dan Agensi Antidadah Kebangsaan Daerah Kuala Muda.\nTidak ketinggalan, Perpustakaan Awam Negeri Kedah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Pertubahan Keselamatan Sosial, Kolej Komuniti Baling, Sekolah Kebangsaan Sultan Mudzaffar Shah dan Universiti Teknologi Mara Cawangan Kedah turut bersama-sama dalam program berkenaan.\n\u201cMelalui pelbagai pameran yang dipamerkan, banyak ilmu dan maklumat terkini berkaitan dengan perpaduan dapat diperoleh oleh penduduk yang berkunjung ke program tersebut,\u201d kata Pengarah JPNIN Negeri Kedah, Tuan Haji Ahmad Puat Haji Junus.\nPada masa yang sama, beliau juga menyatakan bahawa program Bicara Perpaduan menerusi slot \u201cPerpaduan dalam Kepelbagaian\u201d adalah antara program yang terbaik berikutan maklumat yang disampaikan oleh barisan penceramah dapat dijadikan\u00a0 panduan untuk mengeratkan hubungan baik antara rakan lain yang terdiri daripada pelbagai kaum itu.\nPengisian dalam program Bicara Perpaduan berkenaan disampaikan oleh Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Centre, Encik Mohammad Yaakob Yusra, Penolong Pengarah (Sektor Integriti) Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Vijay Ganesan Subramaniam, Timbalan Pengerusi Persatuan Penganut Buddha Masyarakat Siam Utara (Kharawat), Ai Lun, manakala Encik Azwan Jamaluddin bertindak sebagai moderator dalam program tersebut.\nSelain pameran daripada pelbagai agensi, terdapat juga acara menarik lain yang diadakan seperti Pertandingan Cita Rasa Menu Kami dan Penyampaian Bakul Rahmah Rukun Tetangga (RT) Cares.\nAcara kemuncak program tersebut ialah penyampaian hadiah Pertandingan Akhir Busana Perpaduan 2023 yang dimenangi oleh Puan Jamilah Abu Hassan sebagai juara pertandingan, Puan Zurina Saad memenangi tempat kedua, manakala Puan Nur Anis Johari memenangi tempat ketiga." "50 Tahun Pemergian P. Ramlee: Citra yang Ditinggalkan dalam Filem Terakhir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLaksamana Do Re Mi merupakan filem terakhir yang dihasilkan dan dilakonkan oleh Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee. Tarikh 29 Mei 2023 menandakan genap 50 tahun P. Ramlee meninggalkan kita semua. Selepas 50 tahun pemergian beliau, karya-karyanya terus digali bagi mendapatkan makna-makna tertentu. Perkataan Laksamana yang menjadi tajuk filem ini merujuk kepada pangkat tertinggi dalam tentera laut, seakan-akan seniman ini sudah mencapai kemuncak dalam pengkaryaan sebelum pergi buat selama-lamanya.\nP. Ramlee dalam filem ini telah dilantik sebagai Laksamana Do bersama-sama dua orang rakannya, iaitu Laksamana Re dan Laksamana Mi. Imej terakhir beliau di layar perak ialah terbang ke langit di atas tikar, tanpa diketahui arah tuju. Sebelum terbang, watak laksamana bertiga tersebut berlari menyeberang sungai di atas jambatan. Sungai merupakan lambang penghijrahan, sebagaimana yang pernah ditampilkan dalam filem Pendekar Bujang Lapok (1959).\nSetelah berbakti kepada negara dengan menumpaskan Menteri Fasola yang jahat, Raja telah menghadiahkan kepada mereka tiga orang dayang istana yang sudah tua. Apakah yang dapat dibaca daripada babak ini? Adakah mungkin ini satu sindiran; pembesar negara tidak menghargai pengorbanan dan jasa para pahlawan yang telah bermandi darah di medan tempur sedangkan mereka hanya duduk menunggu sahaja di istana? Atau ini keluhan P. Ramlee sebagai anak seni? Setelah berhempas-pulas berjuang untuk seni tanah air, mereka tidak dihargai dengan setimpal dan perlu \u201cberhijrah\u201d ke alam lain, barulah jasa mereka akan disebut-sebut?\nUntuk kali terakhir, mereka naik tikar dengan berdiri, tidak lagi duduk bersila seperti sebelumnya. Dialog terakhir dalam filem terakhir lakonan Seniman Agung ini ialah \u2018\u2019Hei,mampuslah!\u2019\u2019, yang diucapkan oleh A.R Tompel. P. Ramlee hanya ketawa mengejek melihat insiden lucu di bumi. Adakah P. Ramlee meninggalkan tanda-tanda yang dapat dibaca sebagai \u2018\u2019Kami akan pergi dan nasib anak seni akan terus menjadi jenaka, tidak dipedulikan oleh sesiapa?\nSatu lagi hal yang menarik untuk diperhatikan ialah lagu Tiga Sahabat yang menjadi runut bunyi Laksamana Do Re Mi. Lagu ini dikatakan lagu terakhir yang dinyanyikan oleh P. Ramlee di layar perak. Lagu Tiga Sahabat disadur dari Aikoku Koshinkyoku, sebuah lagu yang dicipta ketika meletus Perang Cina-Jepun ke-2 pada tahun 1937. Kerajaan Jepun menganjurkan satu sayembara mencipta lagu bagi menyuburkan semangat kenegaraan dalam kalangan rakyatnya. Pendudukan Jepun telah menyebarluaskan lagu ini bukan sahaja di Tanah Melayu, malah di Indonesia dan juga Filipina.\nDapat dikatakan hampir semua yang terlibat dalam Laksamana Do Re Mi pernah mengalami kehidupan di zaman pendudukan Jepun. Lagu yang penuh semangat ini dipilih oleh P. Ramlee ketika tiga sahabat terbang di atas tikar pandan buat pertama kali ke angkasa untuk mencari kerja dan memulakan hidup baru. Lirik Aikoku Koshinkyoku mengobarkan semangat Asia Raya dengan baris yang berbunyi;\nLihatlah fajar menyingsing di ufuk timur\nJika sinaran matahari terpancar jauh\nMenandakan semangat alam berkobar-kobar\nDan keinginan membara di Oyashima.\n\u00a0\nLirik versi bahasa Melayu adalah seperti berikut;\nKami tiga sahabat\nNasib timbul tenggelam\nSusah hanya sekejap\nSenang pun tak lama\nSekarang mulai sihat\nBerkat sabar di hati\nRezeki pun naik meningkat\nDapat senjata yang sakti\nKami tiga sahabat\nSeia dan sekata\nBerpadu dan sepakat\nRiang dan gembira\n\u00a0Di atas tikar terbang menjelajah dunia\nKerana ingin berbakti\nUntuk sesama manusia.\n\u00a0\nDalam lagu asal, citra \u201cfajar menyingsing\u201d digunakan bagi sebuah negara yang akan bangkit merdeka. Citra yang sama turut digunakan dalam sebuah lagi lagu patriotik tempatan, iaitu Bahtera Merdeka. Negara yang selama ini berada dalam kegelapan (malam) akan berada dalam keadaan cerah (subuh) dan matahari membawa harapan untuk kemakmuran.\nP. Ramlee memahami pengkaedahan Melayu dalam lagu ini; ada unsur tawaduk, percaya kepada nasib dan ujian hidup, percaya kepada rezeki, percaya bahawa sabar akan membawa berkat serta mementingkan kebaktian dan bukan kekayaan. Baris \u2018\u2019kerana ingin berbakti untuk sesama manusia\u2019\u2019 menggambarkan diri P. Ramlee sendiri sebagai seorang pejuang seni yang merendah diri dan lebih mementingkan nilai manusiawi. Lagu yang sering dinyanyikannya sebelum bergelar anak seni dinyanyikan kembali untuk filem terakhirnya. Apakah P. Ramlee sengaja ingin mengimbau kenangan atau ada sesuatu pada semangat lagu tersebut yang mesti diulang pesan?\nSenjata hikmat yang diberikan kepada Do, Re dan Mi dimanfaatkan sebaik-baiknya. Jika mahukan kekayaan, mereka boleh terus minta diberikan wang dan harta. Tetapi mereka meminta ditunjukkan peluang pekerjaan melalui teropong hikmat. P. Ramlee menekankan konsep ikhtiar walaupun dalam gaya komedi. Re marah bila Do meminta teropong hikmat menunjukkan nombor ekor yang bakal \u201cmenang\u201d minggu depan. Dalam sebuah pertandingan mencari pendekar, mereka juga berikhtiar dengan meminta diberikan \u201cmakjun kuat salasa\u201d untuk menjadikan mereka lebih gagah. Mereka juga meminta teropong hikmat menunjukkan cara mengalahkan Fasola,bukannya meminta agar Fasola terus mati.\nDengan persembahan yang penuh komedi dan lawak-lawak yang dianggap agak kasar, pesan Islamik dalam filem terakhir Seniman Agung ini masih dapat dibaca. Namun setelah selesai penggambaran Laksamana Do Re Mi, P.Ramlee telah merancang untuk menerbitkan dan mengarahkan filem Sandera, yang diadaptasi daripada novel Arenawati (Sasterawan Negara).\nPenggambaran dijangka bermula pada Januari 1973. Lebih seribu orang pelakon, termasuk pelakon tambahan diperlukan. P. Ramlee mahu membuat penggambaran di Sulawesi, Indonesia. Badan-badan seperti PERNAS, UDA dan MARA turut disarankan supaya memberi bantuan modal untuk produksi Sandera. Walau bagaimanapun, hasrat ini tidak kesampaian dan P. Ramlee pun menghembuskan nafas terakhirnya pada 29 Mei 1973." "Pemangku Raja Perlis Merasmikan Majlis Penutup Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Perlis 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 \u201cUsaha untuk memperkasakan perpaduan melalui pembangunan negara bangsa perlu dilaksanakan seawal usia kanak-kanak. Kita sebagai rakyat bermentaliti kelas pertama dalam segala tindakan yang cintakan keharmonian seharusnya memperkasakan usaha bersama untuk memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang kukuh teras perpaduannya untuk generasi masa kini, demi masa depan kelak.\u201c\nDemikian dititahkan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Penutup Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Perlis 2023 bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-80 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis Tahun anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Perlis, Kementerian Perpaduan Negara di Dataran Dato Sheikh Ahmad Kangar.\nKeberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar dan Perhubungan Antarabangsa Kementerian Perpaduan Negara, Mohd Sobri Mat Daud dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Perlis, Hanita Ahmad.\nTuanku Pemangku Raja Perlis turut menitahkan bahawa melalui program sebegini, masyarakat dapat mengenali budaya dan adat resam serta saling hormat menghormati antara satu sama lain. Situasi ini dapat mewujudkan satu perasaan dengan satu penyatuan dan rasa kekitaan masyarakat yang berbilang bangsa.\nJelas Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, penyatuan dan kebersamaan perlu ada dalam hati seluruh rakyat Perlis. Sebagai rakyat Perlis, masyarakat perlu ada jati diri, kasih sayang, rasa saling menghormati dan mempunyai perilaku berbudi bahasa kepada kekayaan tradisi, merayakan kemajmukan serta meraikan perbezaan pandangan.\nDalam majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra bersama-sama\u00c2\u00a0 Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menyaksikan persembahan silat, silambam, tarian singa, gendang panjang, persembahan cak lempong dan tarian Melayu.\nAntara pengisian yang dilaksanakan bersempena dengan program tersebut ialah Larian Harmoni, Pertandingan Lensa Uniti, pameran agensi dan swasta, Pertandingan Reka Cipta Malaysia Madani Si Cilik, Festival Kesenian Etnik, Demonstrasi Seni Mempertahankan Diri, Pertandingan Cita Rasa Menu Kami, Demonstrasi Masakan Adabi, Kenduri Rakyat, Kayuhan Perpaduan, Senam Harmoni, Pertandingan Kolaj Kreatif Keluarga Si Cilik, Pertandingan Busana Si Cilik, Nostalgia Anak Kampung, Pertandingan Bercerita dan Kembara Ilmu, Explorace Perpaduan, Jualan Rahmah dan juga Pertandingan Woodball." "Kebudayaan Melayu Islam Teras Pembinaan Peradaban Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cKebudayaan Melayu Islam ialah teras dalam pembinaan peradaban negara Malaysia,\u201d\u00a0 jelas YB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka.\nKenyataan\u00a0 tersebut\u00a0 diucapkan dalam pembentangan kertas kerja beliau yang bertajuk Tamadun Melayu dalam Pembinaan Negara: Kenyataan Kini dan Kesinambungan Pemikiran Siddiq Fadzil.\nTambah beliau, kenyataan ini didokong kuat oleh Almarhum Siddiq Fadzil yang juga menyatakan sedemikian dalam siri syarahan serta penulisannya.\nYB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan turut menyentuh tentang isu \u201cPenggerhanaan Tamadun Melayu\u201d yang malangnya dilakukan oleh sebahagian pemimpin orang Melayu sendiri yang tidak memahami, menghayati dan menghargai warisan sejarah termasuklah aspek kebudayaan, bahasa dan agama. Beliau menzahirkan harapan agar kepimpinan negara waktu sekarang dapat \u201cmembersihkan\u201d elemen-elemen tersebut.\nYBhg. Profesor Dato\u2019 Dr. Mohammad Redzuan Othman pula membentangkan kertas kerja beliau yang bertajuk Siddiq Fadzil Idealogi Kebangkitan dan Kesedaran Islam di Malaysia.\nBeliau mengupas tentang sumbangan pemikiran Almarhum Siddiq Fadzil dalam membentuk pemikiran masyarakat serta kebangkitan dan kesedaran Islam di Malaysia.\nAntara idea dan pemikiran Almarhum Siddiq Fadzil ialah Manhaj Malizi (pendekatan Islam cara Malaysia yang aman), Fiqh al-Aulawiyyat (fiqh keutamaan), Fiqh al-Ta\u2019ayush al-Silmi (hidup bersama dalam budaya damai), Islam yang Rahmatanlilalamin, Maqasid Syariah dan Mahasiswa Budiman.\nYBhg. Profesor Dato\u2019 Dr. Mohammad Redzuan pada akhir pembentangannya menyarankan agar usaha untuk mengkaji pemikiran Almarhum Siddiq Fadzil dengan lebih mendalam digerakkan untuk mengembangkannya demi kebaikan masyarakat bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.\nSeminar Fikrah Siddiq Fadzil yang membawa tema \u201cCitra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia\u201c telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri pagi tadi. Seminar yang julung kali diadakan itu berlangsung pada 30 hingga 31 Mei 2023 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP." "Pemergian Wahid Sate: Legenda Filem Komedi Tanah Air yang Tiada Ganti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMelihat susuk tubuhnya yang sederhana dengan penampilan wajah yang kelihatan sentiasa tersenyum, sama ada ketika tampil di layar perak, pentas atau khalayak umum, masyarakat pasti mengenali beliau yang dikenali sebagai Wahid Sate. Beliau merupakan\u00a0 seorang bintang legenda komedi zaman kegemilangan filem Melayu sejak era 1950-an dan 1960-an. Wahid Sate cukup sinonim dengan personalitinya yang mencuit hati gara-gara tampil sebagai penjual sate dalam filem Pontianak\u00a0 pada tahun 1957 yang menampilkan Maria Menado sebagai bintang utamanya.\nMelalui filem itu, pengarahnya, B.N. Rao, memilih Wahid untuk melakonkan watak sebagai penjual sate yang sentiasa bergerak mencari pelanggan. Ketika menjual sate di kampung pada waktu malam itu, Wahid terserempak dengan pontianak penghisap darah.\u00a0 Aksi Wahid yang sangat takut dalam menghadapi detik-detik cemas itu menarik perhatian penonton.\nFilem Pontianak yang menyeramkan ini benar-benar menarik perhatian masyarakat dengan\u00a0 menerima kehadiran jumlah penonton di luar jangkaan ketika ditayangkan di panggung Cathay selama tiga bulan. Filem ini turut bersaing sengit mengatasi filem Hollywood Samson and Delilah. Watak sebagai penjual sate dalam filem itu turut mudah diingati oleh masyarakat, khususnya peminat filem Melayu, yang sekali gus menjadi pengenalan kepada nama dan personalitinya.\n\u2018Aksi lucunya sebagai penjual sate dalam filem itu memang menarik perhatian sehinggakan ada penonton dalam kalangan masyarakat Tionghua yang berkesempatan menonton filem itu juga menyapa dirinya hanya sebagai \u2018Sate!\u2019 apabila terserempak dengan beliau di luar.\u2019 \u2013Muhammad Hashim, penyelidik lagu dan filem Melayu.\nBukan itu sahaja, Loke Wan Tho yang menubuhkan syarikat Filem Cathay Keris bersama rakannya, Ho Ah Loke, yang tertarik dengan aksi dan lakonannya turut menggelar beliau sebagai Wahid Sate. Identiti pengenalan kepada Wahid ini juga digunakan oleh rakan-rakan anak wayang yang lain di Studio Jalan Ampas, Singapura.\u00a0 Sejak itu dan setelah berlakon banyak filem, nama Wahid Sate sudah\u00a0 menjadi ikon dalam dunia perfileman tanah air dengan nama beliau turut terpampang di kain rentang iklan dan poster wayang.\nNama sebenar beliau ialah Wahid bin Haji Ahmad dan dilahirkan di Inderagiri, Riau, Indonesia pada 1 Januari 1930. Ketika berusia lima tahun, Wahid berhijrah ke Singapura mengikut bapanya dan berpeluang belajar di Sekolah Melayu Geylang.\u00a0 Ketika usia belianya, Wahid mula bekerja sebagai kelasi kapal menjelajah ke beberapa tempat di dunia. Setelah itu, beliau bekerja sementara di Studio Cathay Keris sebagai tukang cat untuk menghias bangunan, set dan peralatan yang digunakan untuk penggambaran filem.\nPada ketika itulah Wahid berkesempatan melihat kerja penggambaran filem yang dilakukan, di samping mengenali beberapa anak wayang yang menimbulkan minat dalam diri beliau untuk turut sama berlakon, bermula sebagai watak tambahan, pelakon pembantu, dan kemudiannya watak utama.\nDalam tempoh lima dekad penglibatannya sebagai pelakon, Wahid membintangi lebih 30 buah filem terbitan Cathay Keris. Antaranya termasuklah sebagai pelakon pembantu dalam filem Serangan Orang Minyak dan Che Mamat Parang Tajam (1958) dan Rasa Sayang Eh (1959). Aksi komedi sebagai watak utama dalam filem Pak Pandir Moden \u00a0dan Che Mamat Parang Tumpul (1960) terus menarik perhatian penonton, diikuti dengan Sri Mersing (1961), Celorong Celoreng dan Badang (1962), Pontianak Gua Musang\u00a0 (1964), Tiga Botak (1965) dan banyak lagi. Wahid turut berlakon dalam filem Naga Tasik Cini, Jula Juli Bintang Tiga, Masuk Angin keluar Asap, Serangan Orang Minyak, Dua kali Lima, Cucu Datuk Merah, Mat Tenggek serta Tuan Besar (1980) arahan Malek Selamat.\nPelakon veteran ini pernah beraksi di bawah beberapa orang pengarah filem, antaranya termasuklah K.M. Basker, B.N. Rao. L. Krishnan, M. Amin dan Hussin Haniff. Beliau pernah digandingkan dengan beberapa pelakon utama di samping pelakon komedi yang lain, antaranya termasuklah Puteh Lawak, Aman Belon, Mat Nisfu, Mat Sentul, Dolah Sarawak, Aini Jasmin, Udo Omar dan Ismail Boss.\nKetika mencecah usia lanjut pada era tahun 2000, seniman legenda filem Melayu ini masih mendapat undangan untuk berlakon. Sebagai contohnya, dalam filem seram \u00a0Pontianak Harum Sundal Malam (2004) arahan Suhaimi Baba, Wahid diberi peranan sebagai pembesar istana. Dalam Senario XX (2005) arahan Aziz M. Osman pula, beliau berlakon sebagai tok ketua.\nSelain filem Pontianak, watak komedi Wahid juga tetap diingati oleh penonton melalui lakonannya dalam filem Badang (1962) arahan S. Roomai Noor. Badang\u00a0 sebagai pemuda biasa kampung yang kurus mencari kayu di hutan secara tiba-tiba berubah menjadi manusia gagah dan hebat. Sekadar menyentuh dan menolak dengan tangannya, Badang dapat menumbangkan pokok-pokok besar, di samping berupaya \u00a0memikul benda berat seperti batu yang besar dan sebuah kapal jong yang tersadai dalam semak. Kekuatan luar biasa itu diperolehnya setelah memakan muntah hantu yang berjaya ditangkapnya dan diugut tidak akan dilepaskan kerana terlalu marah \u00a0setelah memakan ikan dalam lukahnya yang dipasang di sungai.\nPenampilan watak komedi yang menghidupkan jalan cerita dan menarik perhatian penonton juga turut mengharumkan namanya dalam dunia seni lakon. Penerbit Filem Cathay Keris yang yakin dengan keupayaan beliau turut mencalonkan nama Wahid ke Festival Filem Asia di Manila pada 1963. Sebagai hasilnya, Wahid \u00a0\u00a0terpilih menerima anugerah pertama Oskar Black Gold bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik di pesta itu. Wahid juga muncul sebagai Pelawak Terbaik dalam Festival Filem Asia di Taiwan pada tahun 1966 dan Anugerah Perdana Emas oleh Mediacorp dalam Pesta Perdana 2007 di Singapura.\nSelain berlakon komedi, seniman veteran ini juga boleh menyanyi sambil beraksi lucu dalam filem, seperti lagu Sate dan Potong Kayu ciptaan Zubir Said, Yoledi dan Dua kali Lima bersama-sama Mat Sentul dan Cik Mamat Parang Tumpul sambil bersiul menunggang skuter bersiar-siar dalam bandar. Wahid yang boleh bermain alat muzik juga pernah mencipta lagu untuk M. Ishak dan Ahmad Jais. Antaranya termasuklah lagu Sumpah Setia untuk nyanyian Ahmad Jais & The Antartics pada tahun 1967.\nKetika tampil di pentas menemui peminat, Wahid turut menyanyikan lagu-lagu dalam filem lakonannya yang beberapa daripadanya turut dirakamkan dalam piring hitam. Selain menyanyi lagu sendiri, Wahid turut menyelitkan gaya penyanyi lain, seperti pelakon komedi Hollywood, Jerry Lewis, sehingga dirinya digelar Jerry Lewis Malaya.\nKini, ketokohan seniman komedi legenda dalam filem-filem Melayu itu hanya tinggal nama bersama-sama kenangan manis bagi ahli keluarga, rakan dan para peminat setelah beliau menghembuskan nafas terakhir menemui Ilahi di kediaman keluarganya di Singapura pada 22 Mei 2023 yang lalu pada usia 93 tahun. Jenazahnya selamat dikebumikan di Masjid Pusara Aman di Singapura. Allahyarham meninggalkan enam orang anak dan 20 orang cucu hasil perkahwinannya bersama-sama Allahyarhamah Azimah Mohd Taib. Semoga Allah SWT mencucurkan rahmat ke atas roh dan ditempatkan dalam kalangan orang yang mulia.\nPemergian personaliti berbakat ini dengan sifat beliau yang sangat merendah diri dan sentiasa tersenyum merupakan suatu kehilangan kepada dunia seni tanah air yang turut dirasai oleh seluruh rakyat. Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyifatkan Wahid sebagai pelakon veteran berbakat dengan gaya lakonan tersendiri. FINAS berhasrat untuk menghadiahkan trofi Anugerah Seniman Sepanjang Zaman kepada Allahyarham ketika Festival Filem Malaysia (FFM) yang dijangkakan berlangsung tahun depan.\nMenurut Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, penganugerahan itu telah dirancang sebelum ini oleh pihaknya bagi mengiktiraf sumbangan besar Allahyarham Wahid kepada dunia perfileman tanah air. Beliau yang sejak kecil mengagumi Wahid berkesempatan bertemu dengan Allahyarham yang pada ketika itu masih sihat bersama-sama beberapa orang pelakon veteran lain ketika berlangsungnya FFM di Melaka pada tahun lepas.\n\u201cAllahyarham berkesempatan menasihati saya agar terus memacu FINAS\u00a0 ke arah yang lebih cemerlang bagi menyerlahkan industri perfileman tanah air, serta turut sentiasa memberikan perhatian kepada para seniman, seniwati dan semua \u00a0pelakon serta penggiat dalam industri ini.\u00a0 \u00a0Insya-Allah kata-katanya itu menjadi perangsang kepada saya dalam mengemudikan perbadanan ini,\u201d kata Dr. Md. Nasir." "Tradisi \u201cMengoca\u201d Ikan: Pengalaman Baharu bagi Pelajar Antarabangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada setiap sesi pembelajaran bagi Kursus Intensif Kemahiran Bahasa Melayu di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), penulis akan mengadakan lawatan budaya bersama-sama pelajar yang datang dari pelbagai negara. Penulis lebih gemar membawa pelajar ke kawasan perkampungan Melayu supaya mereka dapat menyelami sendiri cara hidup dan budaya masyarakat Melayu. Pada kali ini, penulis berpeluang mengimbau kembali kenangan zaman kanak-kanak di Inap Desa Kampung Lonek yang terletak di daerah Batu Kikir, Negeri Sembilan, bersama-sama tujuh orang pelajar antarabangsa dan beberapa orang guru yang lain.\nSetibanya di Kampung Lonek, kami disambut dengan lambaian padi yang sedang menguning serta ketenangan desa yang damai sekali. Suasana ini mengingatkan penulis terhadap kampung halaman yang nun jauh di Utara Semenanjung. Terdapat palong air di sisi sawah padi yang menjadi sistem pengairan di kawasan kampung tersebut. Penulis juga dapat melihat banyak sekali rumah tradisional berbumbung ala Minangkabau di Kampung Lonek.\nKampung Lonek sangat terkenal dengan inap desa yang bersistematik. Di sana, para pengunjung dapat tinggal di rumah inap yang disediakan ataupun tinggal bersama-sama keluarga angkat yang menyertai koperasi Inap Desa Kampung Lonek. Kami memilih untuk tinggal bersama-sama keluarga angkat. Pengurusan inap desa membekalkan kami atur cara sepanjang dua hari satu malam kami di sana.\nKawasan desa yang dikelilingi sawah padi tidak sah jika tiada aktiviti mengemping padi. Proses pembuatan \u201cemping\u201d dan memasak \u201cpenganan\u201d bukan sahaja pengalaman baharu bagi pelajar antarabangsa, bahkan sangat asing bagi kami. Itulah kali pertama penulis melihat sendiri proses pembuatan emping padi dan memasak penganan atau lebih dikenali sebagai dodol cair dalam kalangan masyarakat tempatan.\nPemilihan padi yang separa masak menjadi sayarat utama dalam proses penghasilan emping yang berkualiti. Padi perlu direndam semalaman dan kemudiannya digoreng sehingga menjadi bertih. Bertih tersebut dimasukkan ke dalam lesung kaki yang diperbuat daripada kayu untuk ditumbuk. Bertih padi tersebut perlulah ditumbuk dalam keadaan yang masih panas untuk mengelakkan emping menjadi keras.\nSelesai proses menumbuk, emping akan diayak atau ditampi menggunakan nyiru supaya dapat mengasingkan hampas padi dan emping yang sudah ditumbuk. Proses menampi ini mengingatkan penulis tentang peribahasa, \u201ckecil tapak tangan, nyiru hamba tadahkan\u201d, yang membawa maksud sangat berbesar hati merujuk kepada Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Bagi penulis, maksud ini perlu diperjelaskan dengan lebih mendalam jika kita ingin mendalami maksud sebenar peribahasa tersebut.\nMasyarakat Melayu terdahulu menggunakan nyiru sebagai alat menampi atau menapis sesuatu seperti padi. Walaupun orang Melayu berbesar hati untuk menerima sesuatu pemberian namun mereka akan memeriksa dan menyaring terlebih dahulu asal-usulnya supaya mendapat sesuatu yang berkualiti dan selamat. Hal ini dianalogikan dengan proses menampi padi supaya dapat mengasingkan hampas, hama dan miang padi tersebut dan memperoleh beras atau emping yang baik dan berkualiti. Selesai mengemping padi, kami disajikan dengan emping bercampur kelapa dan makan bersama penganan yang sudah dimasak bersama-sama keluarga angkat.\nPada sebelah petang kali, para pelajar dan guru-guru disajikan pula dengan permainan tradisional seperti tarik upih pinang, boling kelapa dan kelereng. Sepanjang hidup penulis itulah kali pertama berpeluang bermain kelereng. Permainan menggunakan rim tayar basikal dan sebatang buluh kecil. Seusai sahaja bermain permainan tradisional, tibalah aktiviti yang ditunggu-tunggu iaitu aktiviti \u201cmengoca\u201d ikan.\nMengoca\u201d merupakan perkataan dalam dialek Negeri Sembilan yang merujuk kepada perbuatan menangkap ikan menggunakan tangan kosong. Di Selangor, terutamanya di kawasan Sekincan dan Sungai Besar, disebut dengan istilah \u201cmenggagau\u201d. Namun begitu, sedikit berbeza dengan istilah dialek utara yang lebih gemar menggunakan istilah \u201cmenimba\u201d bagi aktiviti menangkap ikan di sawah ataupun sumur.\nSebenarnya terdapat petua atau teknik untuk menangkap ikan menggunakan tangan kosong. Caranya adalah dengan \u201cmengocak-ngocak\u201d air tersebut supaya ikan menjadi pening dan timbul di permukaan air dengan sendirinya. Oleh hal demikian, usaha untuk menangkap ikan menjadi lebih mudah dan senang. Di samping itu, penulis terasa sangat lucu apabila melihat telatah dan gelagat pelajar-pelajar perempuan dari Jepun, China, Indonesia dan Australia yang terkejut semasa ikan melanggar kaki dan tangan mereka.\nBerbeza dengan Jayden Piltz dari Australia yang langsung berkubang di dalam lumpur tersebut. Penulis berjaya menaikkan lapan ekor ikan keli dengan berbekalkan pengalaman semasa kanak-kanak ketika bergelumang dengan selut di sawah padi milik ayahanda dahulu. Aktiviti seperti \u201cmengoca\u201d ini sebenarnya bukan sekadar untuk bersuka ria atau hanya untuk memenuhi atur cara program semata-mata, namun menggambarkan cara hidup dan budaya masyarakat Melayu terdahulu \u201cbermesra\u201d dengan alam. Bak perkongsian daripada ayahanda penulis sendiri, \u201corang dulu, tidak risau akan sumber makanan. Semuanya boleh dapat di sekeliling tempat tinggal.\u201d Oleh sebab itu, jika kita perhatikan orang tua-tua yang tinggal di kampung memiliki sifat kesyukuran yang sangat tinggi.\nPada malamnya, para pelajar diajar pula cara untuk bermain caklempong iaitu sejenis alat muzik tradisional yang berasal dari Sumatera Barat, Indonesia. Caklempong terdiri daripada beberapa instrumen, iaitu bonang, tepak, tepak sauwa dan tepak tingkah, gendang ibu, pengetuk, serunai dan bangsi. Dalam permainan ini juga terdapat beberapa fungsi instrumen yang terdapat dalam caklempong, antaranya termasuklah \u201cgereteh\u201d, \u201ctingkah\u201d, \u201csauwa\u201d. Fungsi ini dapat menghasilkan sebuah irama dan lagu yang merdu dan harmoni. Caklempong di Kampung Lonek diajar oleh Encik Hairy Abdul Halim yang merupakan salah seorang penggiat seni di Pusat Kebudayaan UKM.\nPada hari kedua, semua pelajar dan guru dibawa meronda-ronda kampung dengan menaiki trem yang disediakan oleh koperasi Inap Desa Kampung Lonek. Aktiviti ronda-ronda kampung ini menyajikan kami dengan perusahaan Industri Kecil Sederhana (IKS) yang terdapat di kampung tersebut. Antara IKS yang dilawati termasuklah kilang penghasilan mi kuning oleh Bumiputera di sana. Yang menariknya, mi kuning yang dihasilkan tidak menggunakan bahan pengawet dan 100 peratus halal.\nSeterusnya, kami dibawa ke perusahaan kuih tradisional seperti kuih kapit dan karas. Di sana, para pelajar berpeluang mencuba sendiri cara untuk membuat kuih karas secara tradisional. Pelajar antarabangsa tidak melepaskan peluang tersebut kerana mungkin mereka tidak akan ketemu lagi cara masakan seperti itu di negara mereka kelak.\nDi samping pembelajaran bahasa Melayu di dalam kelas, aktiviti budaya yang dirasai dan dilalui sendiri oleh pelajar antarabangsa turut membantu mereka dalam mendalami erti sebenar sebagai Melayu. Besar harapan Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM agar bahasa Melayu dan kebudayaan Melayu diangkat kedudukannya dan tidak merempat di halaman sendiri." "Gagasan Bangsa Malaysia Siddiq Fadzil\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Profesor Dr. Sarjit Singh membicarakan gagasan penting pemikiran Almarhum Profesor Dato\u2019 Dr. Siddiq Fadzil iaitu \u201cHidup Bersama dalam Budaya Damai\u201d, \u201cKepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan\u201d dan \u201cBangsa Malaysia\u201d semasa membentangkan kertas kerja beliau yang bertajuk \u201cCabaran Mendepani Pembinaan Citra Bangsa\u201d.\n\u201cMenjadi cabaran kepada Kerajaan Perpaduan pada hari ini menyahut fikrah Almarhum Profesor Dato\u2019 Dr. Siddiq Fadzil dalam usaha membina semula naratif \u201cBangsa Malaysia,\u201dujar Profesor Dr. Sarjit Singh. Beliau turut menyeru semua pihak agar memikirkan idea penting peninggalan Almarhum Profesor Dato\u2019 Dr. Siddiq Fadzil ini demi kebaikan bersama.\nMenutup perbahasan pembentangan, beliau berpendapat bahawa gagasan \u201cBangsa Malaysia\u201d ialah harapan setiap rakyat untuk hidup bersama secara aman dan damai.\nDr. Nor Salimah Abu Mansor pula membentangkan kertas kerja yang bertajuk \u201c Fikrah Dakwah Siddiq Fadzil dalam Mendepani Pembinaan Citra Bangsa\u201d.\nMenurut beliau, gagasan \u201cBangsa Malaysia\u201d ialah sumbangan besar Almarhum Profesor Dato\u2019 Dr. Siddiq Fadzil untuk mencapai perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. \u201cHal ini amat jarang dititikberatkan terutamanya oleh golongan agamawan tetapi Almarhum telah melangkau jauh ke hadapan melihat perpaduan bukan hanya dalam kelompok etnik atau kaum bahkan lebih jauh hingga menjangkau kepada persoalan \u201cBangsa Malaysia\u201d.\nDr. Nor Salimah Abu Mansor turut berkongsi tentang fikrah Almarhum dalam menentang idea-idea melampau sebahagian kelompok Melayu Islam yang prejudis terhadap bangsa lain. Almarhum juga berjuang membuang unsur-unsur negatif dalam kalangan Melayu Islam sendiri terutamanya dalam soal kesalahfahaman terhadap agama Islam agar mereka nanti dapat membantu usaha dalam membina citra bangsa.\nProfesor Madya Dr. Khairudin Aljunied meneruskan sesi seminar dengan mengupas isu politik identiti dalam kertas kerja beliau yang bertajuk \u201cMengatasi Politik Identiti: Bagaimana Idea boleh Mengubah Realiti Kita\u201d.\nMenurut beliau, masalah politik identiti bukan sahaja dihadapi di rantau Nusantara malah di peringkat global dan jika isu ini tidak diatasi dengan bijak akan membawa kesan yang buruk kepada sesuatu bangsa dan negara.\n\u201cIdea boleh menjadi solusi kepada pelbagai permasalahan yang kita hadapi pada hari ini,\u201dujar Profesor Madya Dr. Khairudin Aljunied. Beliau juga menekankan keperluan melahirkan para pemikir yang memikirkan isu-isu yang dapat mengubah masyarakat.\nKetiga-tiga ahli panel tersebut membentangkan kertas kerja masing-masing dalam sesi 3 Seminar Fikrah Siddiq Fadzil yang membawa tema \u201cCitra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia\u201d. Seminar yang julung kali diadakan itu berlangsung pada 30 hingga 31 Mei 2023 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP." "Panchor dan Sejarah Kisah Ayahanda Catatan Pengalaman Berharga\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cPekan Panchor merupakan sebuah pekan kecil yang terletak di daerah Muar yang pernah menjadi sebahagian daripada laluan denai penarikan yang digunakan oleh pedagang dahulu kala dan asal usul namanya diambil dari salah sebuah air terjun yang gemuruh bunyinya,\u201d kongsi Timbalan Ketua Pengarah Operasi Dewan Bahasa dan Pustaka, Encik Zulfa Hamzah dalam ucapan alu-aluannya.\nMajlis Pelancaran Buku Panchor dan Sejarah Kisah Ayahanda ini telah berlangsung di pentas utama, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur (WTCKL) pada 1 Jun 2023, 11.00 pagi tadi bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL 2023).\nBuku Panchor dan Sejarah Kisah Ayahanda karya Yunus Masjuki merupakan buku berbentuk anekdot dan sejarah berdasarkan kisah ayahandanya Hj. Masjuki Ramli yang berkisar tentang kehidupan suka duka beliau ketika peristiwa Jepun menyerang Panchor.\nTurut hadir, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, YBhg. Leftenan Jeneral Dato\u2019 Arman Romaizi Haji Ahmad\u00a0 bagi merasmikan pelancaran buku\u00a0Panchor dan Sejarah Kisah Ayahanda. Kongsi beliau dalam ucapannya,\nTidak dapat dinafikan bahawa penerbitan buku berbentuk sejarah dan diterjemahkan secara anekdot sebegini masih kurang. Oleh itu, atas kesedaran dan keinginan yang dimiliki oleh penulis untuk berkongsi pengalaman, harus dipuji.\nTambahnya lagi,\nRingkasnya, buku ini mengisahkan bagaimana Hj. Masjuki membesarkan penulis serta adik-beradiknya dengan penuh liku-liku serta cabaran dan dugaan. Pengalaman-pengalaman inilah yang menjadi intipati penting dalam buku yang bakal dilancarkan sebentar nanti." "Elemen Penguasaan Bahasa Melayu dalam Ujian Penilaian Kompetensi Penjawat Awam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2013 Inisiatif pemerkasaan bahasa kebangsaan dalam ruang lingkup perkhidmatan awam telah melangkah ke satu fasa baharu pada hari ini dengan pelaksanaan Konvensyen Munsyi Muda Bahasa Perkhidmatan Awam Tahun 2021, yang julung-julung kalinya dianjurkan sejak pelaksanaan Program Kursus Munsyi Muda Bahasa pada tahun 2015.\nProgram Munsyi Muda Bahasa merupakan produk kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk memberikan latihan kebahasaan formal dan berperingkat kepada pegawai kementerian di setiap sektor yang dilantik khas untuk menjadi \u201cPerujuk Bahasa\u201d kepada kementerian masing-masing.\nAntara bidang tugas Munsyi Muda Bahasa termasuklah membantu agensi kerajaan dalam penggunaan bahasa yang baik dan betul dalam penyediaan surat, dokumen, laporan rasmi, paparan dan teks ucapan sama ada dalam bentuk bercetak atau elektronik. Pegawai yang ditauliahkan sebagai Munsyi Muda Bahasa mempunyai tanggungjawab yang besar untuk digalas sebagai perujuk bahasa bagi membantu usaha memperkembang penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul.\nKonvensyen yang dianjurkan bersama oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), JPA dan Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP itu berlangsung seharian dengan objektif utamanya untuk menubuhkan Sektretariat Munsyi Muda Bahasa Sektor Awam (SEMUA) sebagai wadah penyelarasan kegiatan Munsyi Muda Bahasa yang merentas kementerian, jabatan dan agensi.\nMajlis perasmian konvensyen telah diserikan dengan kehadiran YBrs. Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi, yang menyampaikan ucapan alu-aluan dan YBrs. Puan Salinah Ismail, Timbalan Pengarah Kanan INTAN, yang menyempurnakan ucapan perasmian yang disaksikan oleh 100 orang Munsyi Muda Bahasa daripada 18 kementerian secara dalam talian.\nSebanyak tujuh resolusi telah dicapai dalam konvensyen itu. Antaranya termasuklah yang meliputi pengiktirafan Munsyi Muda Bahasa, pemerkasaan fungsi Munsyi Muda Bahasa jabatan dan saranan agar elemen penguasaan bahasa Melayu dimasukkan dalam ujian penilaian kompetensi penjawat awam." "Kesantunan Bahasa Etnik-etnik Utama di Malaysia Landasan Perpaduan Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Majlis pelancaran buku Kesantunan Bahasa Etnik-etnik Utama di Malaysia telah disempurnakan oleh YBhg. Dato\u2019 Indera Noridah Abdul Rahim, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara di Bilik Kuala Lumpur, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada petang ini. Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu memaparkan perbandingan kesantunan bahasa etnik utama di Malaysia, iaitu Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazandusun.\nYBhg. Dato\u2019 Indera Noridah dalam ucapan perasmiannya berkata bahawa usaha penerbitan buku Kesantunan Bahasa Etnik-etnik Utama di Malaysia \u201cbagaikan pucuk dicita ulam mendatang\u201c bagi beliau kerana pihak Kementerian Perpaduan Negara sedang meneroka\u00c2\u00a0 ruang yang pelbagai untuk mempromosikan dan mengukuhkan semangat perpaduan di seluruh negara.\n\u201cApabila bercerita tentang etnik-etnik, pastinya akan terbayang perpaduan di fikiran kita. Kepelbagaian etnik ini merupakan kekuatan dan aset bagi negara. Pihak kementerian sememangnya berusaha untuk mendapatkan hasil kajian dan penulisan berkenaan dengan etnik, termasuklah bahasa. Oleh sebab itu, penerbitan buku ini merupakan permulaan bagi pihak Kementerian Perpaduan Negara dengan DBP untuk bersama-sama meneroka etnik yang lain,\u201c kata YBhg. Dato\u2019 Indera Noridah Abdul Rahim.\nTambah beliau, Kementerian Perpaduan Negara berpegang kepada tiga prinsip, iaitu \u201cFaham, Hormat dan Terima\u201c dalam usaha mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. Melalui prinsip ini, masyarakat dapat memahami dan menghormati perbezaan sesuatu kaum, seterusnya menerima kepelbagaian adat, budaya dan bahasa dengan hati terbuka.\nBuku Kesantunan Bahasa Etnik-etnik Utama di Malaysia berteraskan penyelidikan dalam usaha memperkukuh perpaduan pelbagai etnik warganegara Malaysia. Buku ini menghimpunkan penulisan tujuh penulis, iaitu YB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan, Dr. Ng Chwee Fang, Profesor Madya Dr. Chemaline Osup, Dr. Rosalyn Gelunu, Prakashdas K Ramadas, Liang Yan dan Mohammad Jazuli Madenan.\nSelaku ketua penyelidik dan editor buku Kesantunan Bahasa Etnik-etnik Utama di Malaysia, YB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan menyatakan bahawa daripada kajian yang dilakukan, terdapat banyak persamaan unsur kesantunan bahasa yang ditemukan bagi setiap etnik, iaitu aspek sistem panggilan dan kata sapaan sehari-hari, yang menunjukkan adab dan budi sopan masyarakat Malaysia.\n\u201cPersamaan kesantunan bahasa ini perlu dijadikan landasan perpaduan, dan lebih baik kita mencari persamaan berbanding dengan perbezaan supaya perpaduan kebangsaan dapat dicapai dengan sebaik-baiknya,\u201c kata YB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan.\nTurut hadir majlis pelancaran ini antaranya termasuklah Tuan Haji Md. Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah Dasar DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, dan Tengku Fauziah Ku Mat, Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa DBP.\nFoto: Khairul Azhar Baharuddin, DBP." "Terapi Seni Ekspresif Meneroka Konflik Emosi melalui Pendekatan Seni Visual\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cBuku ini boleh menjadi panduan yang praktikal kepada profesion seperti kaunselor, guru dan pegawai psikologi dalam memberikan bimbingan dan kaunseling kepada individu yang memerlukan.\u201d\nDemikian jelas Dr. Rafidah Kastawi, penulis buku Terapi Seni Ekspresif dalam Sesi Perkongsian Ilmu Terapi Seni Ekspresif yang diadakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa (PBAKL) 2023 di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pagi ini.\nMenurutnya, buku Terapi Seni Ekspresif boleh digunakan oleh orang ramai untuk mengenal diri sendiri dan orang di sekeliling mereka seperti anak, pasangan dan rakan bagi membantu dalam aspek pengurusan psikologi yang melibatkan emosi dan perasaan.\nPada masa ini, kebanyakan orang memilih untuk meluahkan atau berkongsikan perasaan dan mainan emosi mereka melalui platform media sosial. Hal ini tidak menjadi masalah, namun ada beberapa perkara yang perlu diingatkan tentang platform perkongsian maklumat ini, terutamanya dari aspek kerahsiaan.\nOleh sebab itu, melalui ilmu yang diperoleh di samping kepakaran dan pengalaman beliau sebagai guru, pensyarah dan kaunselor di pelbagai institusi awam dan swasta, beliau berkongsikan kaedah yang ringkas dan mudah melalui pendekatan terapi seni ekspresif dalam menyalurkan emosi dengan gambaran visual, terutamanya untuk meluahkan fikiran negatif seperti stigma, kebimbangan, tekanan atau stres.\n\u201cPenghasilan karya kreatif yang menghubungkan antara pemikiran dengan perasaan seperti melukis dan mewana mampu memberikan ruang kepada seseorang itu, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak untuk menggambarkan dan meluahkan apa-apa yang dialami oleh mereka secara sukarela,\u201d hurainya lagi mengenai teknik terapi ini.\nJelasnya lagi, matlamat utama terapi seni seumpaman ini bukanlah untuk mencipta karya seni yang indah, menarik ataupun untuk mengasah kemampuan untuk menjadi seorang pelukis, namun kaedah ini adalah untuk merawat jiwa dan menjadikan seni sebagai mediumnya.\nTambahnya lagi, terapi ini berupaya memahami keperluan dan konflik dalaman diri di samping dapat menguruskan rasa kegelisahan dan tekanan yang dialami oleh seseorang.\nDalam perkongsian ini juga, para peserta di reruai DBP berpeluang menghasilkan lukisan dengan menggunakan pensil warna dan krayon sebagai luahan rasa sambil dibimbing oleh Dr. Rafidah Kastawi.\n\u00a0\nTerapi Seni Ekspresif ialah buku terbitan DBP yang mengetengahkan teknik kaunseling yang menggunakan Modul R-E-S-T yang menggabungkan seni dan psikoterapi dalam proses kaunseling." "Main Puteri Bakal ke Paris 7 Jun ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Seni persembahan tradisional Kelantan, Main Puteri bakal dipentaskan di Festival de I\u2019Imaginaire di Paris, Perancis pada 7 Jun ini.\nPersembahan yang akan berlangsung di Theatre de I\u2019Alliance Francaise, Paris itu dibawakan oleh sebuah pertubuhan pelestarian seni budaya warisan Malaysia, iaitu PUSAKA selepas menerima undangan pertubuhan Maison des Cultures du Monde.\nPengasas PUSAKA, Eddin Khoo dalam kenyataan medianya berkata, persembahan itu menjadi platform terbaik untuk menyerlahkan lagi bakat seniman dalam bidang kebudayaan dan kesenian di persada antarabangsa.\n\u201cIni adalah kali kedua PUSAKA dijemput untuk membuat persembahan di sana selepas kejayaan persembahan seni tradisional Makyung, Menora dan Wayang Kulit pada tahun 2007.\n\u201cKami berbangga dan berbesar hati diberi peluang untuk mementaskan Main Puteri dalam satu festival yang terkemuka dalam usaha mengangkat martabat dan memperkasakan seni tradisional di luar negara,\u201d katanya.\nEddin menambah, program itu akan menampilkan adiguru seni Main Puteri, iaitu Che Mohd Zailani Che Moh atau terkenal dengan gelaran Pok Mat Jedok, Mohd Noor Arifin (Pok Jue), Ahmad Shaifuldin Jusoh (Din Puteri), serta barisan pemuzik bakat muda dari Kelantan seperti Kimi Anak Limbat (pemain rebab), Syakil Yusof (pemain serunai) dan Alang Rebanamas (pemain gendang).\nProgram ini turut mendapat sokongan dari Kedutaan Besar Malaysia di Paris, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, dan MyCreative Ventures.\nSementara itu, Pengerusi MyCreative Ventures, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, pihaknya menyokong usaha membawa adiguru seni warisan tidak ketara Malaysia ke persada dunia.\nFestival de I\u2019Imaginaire diasaskan pada tahun 1997 oleh Maison des Cultures du Monde, menawarkan pentas kepada rakyat dan tamadun dunia kontemporari dan bentuk ekspresi yang langka dan luar biasa, menyumbang kepada dialog antara tamadun, kerjasama antarabangsa dan memelihara kepelbagaian budaya.\nKredit Foto: Cheryl Hoffman/Gambar Ihsan PUSAKA" "\u201cJapan Traditional Dolls\u201c Pamer Nilai Seni dan Budaya Jepun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan pameran \u201cJapan Traditional Dolls\u201c di Ruang International Corner, Galeri 1001, Aras 2, Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra Kampus Alam UniMAP Pauh Putra yang bermula dari 2 hingga 30 Jun 2023 ini. Pameran ini\u00c2\u00a0dianjurkan oleh Bahagian Galeri dan Muzium, Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra UniMAP dengan kerjasama Pejabat Konsulat Jeneral Jepun di Pulau Pinang.\nPemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, merangkap Canselor UniMAP dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, selaku Pro Canselor, berkenan mencemar duli menyaksikan pameran tersebut ketika berangkat merasmikan Hub Komuniti @ Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) baru-baru ini.\nKeberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Dr. Ir Ts Zaliman Sauli dan wakil daripada Pejabat Konsulat Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Liew Bee Lan.\nPameran yang dibuka kepada semua pengunjung di UniMAP bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 5.00 petang ini bertujuan untuk memperkenalkan nilai seni serta budaya Jepun, dan pada masa yang sama meraikan kepelbagaian seni tradisional negara tersebut. Antara bahan yang dipamerkan termasuklah Kyugetsu, Hakata dan Kokeshi. Turut dipersembahkan adalah replika makanan tradisional utama Jepun, seperti Sushi, Tempura, Bento, Soba, Oden, dan juga hidangan mewah seperti Cendawan Matsutake.\nHagoita, ataupun Raket Hanetsuki, yang merupakan permainan tradisional Jepun juga menjadi satu daripada perhatian utama para pengunjung sewaktu pameran ini berlangsung.\nTuanku Pemangku Raja menitahkan bahawa dalam konteks global, perpustakaan seluruh dunia memfokuskan kepada inisiatif pemerkasaan peranan perpustakaan kepada komuniti dan pemegang taruh yang lebih luas. Inisiatif perpustakaan sebagai hub komuniti tidak terbatas kepada perpustakaan awam sahaja, selain memperkasa peranan sebagai hub komuniti sesuai dengan sumber kepakaran, bidang pengajian, kecanggihan teknologi dan perkhidmatan ditawarkan. Tuanku Syed Faizuddin Putra turut memetik kata-kata R. David Lankes, \u201cBad libraries build collections, good libraries build services, great libraries build communities\u201c." "Anwar Ibrahim Ikon Pendidikan Negara Diangkat dalam Teater\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan memuji usaha sama Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia (PAYAAM) dan Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (PEMEKAR) mementaskan teater berjudul Cikgu Anda di Ballroom Grand Barakah Hotel, Ampang dekat sini pada 10 Jun ini.\nProfesor Datuk Seri Dr. Awang yang juga Ahli Dewan Negara berharap pementasan teater berkenaan akan berjaya dan pihak penerbit dapat membawanya ke medium lain pula seperti filem atau drama bersiri televisyen pada suatu hari nanti.\n\u201cTeater Cikgu Anda penting kerana ia memartabatkan perjuangan dan pengorbanan para guru dalam mendidik anak bangsa mencapai kecemerlangan dalam pendidikan. Lebih khusus, teater ini mengangkat seorang tokoh besar, iaitu Perdana Menteri Malaysia sekarang yang semasa mudanya membuka peluang pembelajaran untuk mereka yang tercicir menerusi penubuhan sekolah swasta,\u201d ujar Dr. Awang dalam ucapan beliau sewaktu melancarkan teater arahan Amran Nasrudin ini pada 1 Jun lalu dalam majlis pelancaran dan sidang media di hotel yang sama.\nPAYAAM diketuai oleh Dato\u2019 Dr. Suhaimi Ibrahim yang bertindak sebagai Penerbit dan juga pencetus idea Cikgu Anda sejak dua tahun lalu. Beliau yang sinonim dengan Majlis Belia Malaysia tidak lama dahulu adalah antara rakan rapat Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.\nPEMEKAR pula dipimpin oleh Amran, seorang pelakon, pengarah dan penggiat teater berpengalaman selama empat dekad sebagai pengerusinya. Selain mengarah, Amran turut bertanggungjawab mengolah pentas Cikgu Anda.\nDitubuhkan hampir dua tahun lalu, PEMEKAR bertujuan memperkasakan pencapaian karya-karya nostalgia insan seni. Pada masa yang sama, matlamat utamanya adalah menjalankan aktiviti serta program seni dan budaya bagi mencari dana kebajikan untuk para penggiat seni meneruskan kelangsungan hidup, lebih-lebih lagi akibat COVID-19.\nCikgu Anda juga dipentaskan bersempena dengan sambutan Hari Guru Kebangsaan 2023 yang membawa tema \u201cCikgu Pencetus Generasi Madani\u201d. Skrip Cikgu Anda ditulis oleh penulis dan juga pelakon veteran, Anwar Idris.\nMenurut Dato\u2019 Dr. Suhaimi, pementasan teater Cikgu Anda yang berdurasi sekitar 90 minit bermula jam 8.30 malam, merupakan antara program PAYAAM untuk mengangkat perjuangan pengasasnya menubuhkan Yayasan Anda Akademik (YAA), yang dimaksudkan oleh Awang sebagai sebuah institusi pendidikan swasta untuk menampung keciciran pelajar khususnya pelajar luar bandar bagi meneruskan dan mendapatkan pendidikan yang lebih tinggi.\n\u201cPementasannya juga diadakan untuk memugar cita-cita dan idealisme perjuangan YAA menerusi motto \u2018Insan Akademis yang Bertaqwa\u2019 yang telah dicetuskan oleh Anwar sebagai pengasas dan dianggap sebagai ikon pendidikan negara,\u201d tambah Dr. Suhaimi.\nTeater ini juga memberikan peluang kepada masyarakat berkongsi pengalaman mengenai falsafah dan perjuangan serta sumbangan besar yang telah diberikan oleh Anwar dalam bidang pendidikan pada zaman mudanya di YAA sebagai sebuah institusi pendidikan swasta yang berjaya dan berpengaruh dalam pembangunan pendidikan negara.\nCikgu Anda dijayakan oleh gabungan pelakon berpengalaman luas dan generasi baharu, iaitu Dato\u2019 Ahmad Tamimi Siregar, Abon, Mubarak Majid, Hairi Safwan, Najua P. Ramlee, Che Mat Raja Lawak, Sarah Fazny, Irea Sabariah, Shasha Marcela, Amir Ameezan, Fitri Amran, dan Rizal.\nCikgu Anda mengisahkan Nazri (lakonan Che Mat Raja Lawak) yang nekad berhijrah ke Kuala Lumpur untuk menimba ilmu di YAA setelah kecewa hanya memperoleh gred 3 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Sasaran utama Nazri untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STP) dan kemudian ke institusi pengajian tinggi. Dengan bantuan Cikgu Anwar Ibrahim (Hairi Safwan), Nazri diterima menjadi pelajar.\nNazri hidup sebatang kara di Kuala Lumpur. Segala kos sara hidup dan pelajaran terpaksa diusahakannya sendiri. Nazri bekerja di kedai makan Amjal. Biasanya jika dia bekerja pada waktu malam, dia akan belajar pada waktu siang. Begitu juga sebaliknya bersilih ganti.\nDengan bantuan pendidikan dari keluarga YAA, Nazri lulus cemerlang dalam STP dan berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya. Anwar sebagai Penaung YAA akan hadir sama menonton bersama-sama isteri dan ahli keluarga pada 10 Jun nanti. Tiada bayaran tiket dikenakan untuk menonton Cikgu Anda.\nSelain Suhaimi, Amran, Anwar dan para pelakon Cikgu Anda, turut hadir ialah Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hidayatul \u2018Ein Mohamad Azmi dan Ketua Pegawai Eksekutif hotel tersebut yang juga Penerbit Eksekutif, Dato\u2019 Seri Razali Mohd Sham.\nMajlis pelancaran dan sidang media itu turut diserikan dengan persembahan fragmen teater Cikgu Anda yang dijayakan oleh Che Mat, Abon, Najua, Irea, dan Dato\u2019 Ahmad Tamimi." "Produk IKS Tempatan di HIMPUN 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2013 Pada 21 hingga 29 Mei 2023 yang lalu, berlangsungnya HIMPUN 2023 di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi bermula dari pukul 9 pagi hingga 9 malam. HIMPUN 2023 merupakan pameran dan jualan produk Industri Kecil Sederhana (IKS) tempatan berasaskan fesyen, kraf, kecantikan dan makanan. Acara ini merupakan platform runcit inisiatif anjuran oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia (DDEC).\nPelbagai aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung, antaranya termasuklah sudut sukan rakyat, mencuba makanan, demonstrasi dan pameran seni visual, demonstrasi menganyam tikar mengkuang, persembahan muzik instrumental, ukiran kayu, demonstrasi penghasilan kraf, demonstrasi fesyen, persembahan tarian tradisional, kuiz dan mencanting batik.\nAntara peserta jualan dan pameran ini termasuklah Earth Heir, Fuse Kuala Lumpur, JALLA, Eartheories, Sense of Malaysia, AASYQN, Woodworks, Empayar Kaki Lima, The Wander Lust Hijab, Mi, Broad Hub, Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya, Unique Souvenir, Binshahidan, Borneo Gemstones, LEO Snack & Nuts, Ina Souvenirs, Batek Lenggong, Wira Wahyu Enterprise, Mahsuri Gold dan Persatuan Artis Seni Visual Langkawi (LAVAA).\nAcara ini mendapat sambutan memberangsangkan berikutan turut berlangsungnya acara Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2023) di lokasi berhampiran, iaitu Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri. Sebelum ini, HIMPUN pernah diadakan pada tahun 2019, namun terhenti kerana pandemik COVID-19 yang melanda dunia." "Kemeriahan Hari Terbuka LAIN MACAM 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0Langkawi \u2013 Pada 25 hingga 27 Mei 2023 yang lalu, telah berlangsung hari terbuka Langkawi International Marble Art Camp (LAIN MACAM 2023) di DiKaki Tower House Gunung Raya, Langkawi. LAIN MACAM 2023 dirasmikan oleh YBhg. Datuk Hajah Saraya Arbi, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.\nAcara ini membuka peluang kepada pengunjung untuk menyaksikan pembuatan arca batu pualam berjudul Lambis-lambis yang dihasilkan oleh Abdul Hamid Muhamad, Mohd Zahir Ismail, Mohd Alief Syukri Sakaran dan Siti Sahar Abouzainedin; arca Pakis Mendakap dihasilkan oleh Tajalli Abdullah, Nadzri Abdullah, Mohd Iskandar Mustafa dan Syahril Azwan Salleh serta arca Jalinan Rusuk oleh Muhamad Fatihad Fabillah, Suzuan Suhaimi, Mohd Syafiq Hassan dan Amirul Hafiz Mat Aziz. Uniknya, acara pada kali ini memaparkan penghasilan arca daripada batu pualam bersaiz besar, iaitu bersaiz 7 x 6 x 5 kaki.\nPelbagai acara pelengkap dilaksanakan, seperti bengkel (bengkel seni cyanotype oleh Balqis Mohd Tajali, bengkela seni mencanting batik oleh Razlan Mawart dan bengkel seni menghasilkan pesawat kertas oleh Edroger), permainan (hidden paper plane game), pertandingan bakat lukis pesona Langkawi anjuran bersama Balai Seni Negara Langkawi dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, pameran seni (pameran mini 555), bazar seni (disertai oleh Mawart, Natty Thriftshop, Rumah Bahang, The Pallets Store, SB Skate Shop, Hooligan Camp, Dreadfactori, Kolma, Kebun Burung Mandi, Koffeemillia, Ilham Ceramic, Ell Sorenson, Liquid Lab, Gelateria, Chetak Tiga, Dayang Lilin, Jogjaexpress, Batik Addicts, Level Lain, Driftwood Langkawi, Lis Cakery & Coffee, Jeans.Co, Langkawi Brewery, Yan Jah, Thrift Store Japan) dan jualan buku oleh Balbuk Haus, Kedai Hitam Putih dan penerbitan SVARA.\nSepanjang tiga hari berlangsungnya hari terbuka, turut diadakan sesi dialog, deklamasi puisi dan persembahan pentas. Antara yang turut serta mengisinya ialah Irshad Mobarak, Ahmad Mazlan Othman, Caravan of Praise, Petak Daud, Laskar Seni, Jasper, Park Lah, DJ Irie, Shaheth, Buddha Beat, Darren Ashley, Zulhezan dan Hafiz Hamzah, Langkawi Dub Club, Warnabumi, Amin Eusof, Nada Rasa, Zaidi Musa, SJ Ajiem, Hadi Ismael, No Good, DJ Biscuit, Late Night Frequency, Balok People, Masia One, Viona, Munirih, Moi Last Von, Kelam Bunyi, Concious Island Sound, Lamh.Co, DJ Alakazam dan Hafiz Jelir. Tidak ketinggalan ialah sesi tayangan wayang pacak oleh U-Wei Haji Saari.\nLAIN MACAM 2023 dianjurkan bersempena dengan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2023) oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Balai Seni Negara, Balai Seni Negara Langkawi bersama rakan penaja Bina Darulaman Berhad dan rakan kerjasama iaitu Tentuhala Collective, DiKaki Tower House dan Balbuk Haus. LAIN MACAM 2023 merupakan penjenamaan semula International Marble Art Camp (IMAC) dan penganjuran kali ini merupakan edisi keempat sejak mula dianjurkan pada tahun 2019.\nTurut hadir pada hari terbuka ini ialah Encik Amerrudin Ahmad, Pengarah Balai Seni Negara, YBrs. Dr. Azmil Munif Mohd Bukhari, Pengurus (Bahagian Pelancongan) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Tuan Haji Sazilan Md Is, wakil penaja Bina Darulaman Berhad (BDB), dan Encik Muhammad Hazrin Abdul Malek @ Moktar, Pengarah Balai Seni Negara Langkawi." "Tahlil dan Bacaan Yasin 50 Tahun Pemergian Tan Sri P. Ramlee\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pada 29 Mei 2023 yang lalu merupakan tarikh pemergian Tan Sri P. Ramlee ke rahmatullah yang ke-50 tahun. Selama 49 tahun sebelumnya, waris dan ahli keluarga Seniman Agung ini mengadakan majlis tahlil, dan bacaan Surah Yasin\u00a0 pada setiap tahun di lokasi yang berbeza, termasuk rumah kelahirannya di Jalan P. Ramlee, Pulau Pinang, yang kini dipanggil Rumah P. Ramlee.\nBertempat di Pustaka Peringatan P. Ramlee (PPPR) di Taman P. Ramlee, cucu kepada Tan Sri P. Ramlee, iaitu Najua, 35 tahun, dan kakaknya, Natasya, 36 tahun, mengambil inisiatif mengadakan majlis tahlil, dan bacaan Surah Yasin yang dianggap istimewa.\nMajlis tersebut dilangsungkan di tempat yang juga rumah terakhir yang didiami P. Ramlee bersama-sama isteri, Allahyarhamah Biduan Negara Puan Sri Saloma sejak tahun 1964, yang merupakan hadiah serta tanda penghargaan Shaw Brothers kepada beliau dan menjadi lambang kegemilangan kegiatan seni industri perfileman negara pada ketika itu.\nMenurut Najua, atau lebih dikenali sebagai pelakon, penyanyi dan pengacara dengan nama Najua P. Ramlee, walaupun majlis tahlil dan bacaan Surah Yasin pernah diadakan di lokasi tersebut, tetapi bersempena dengan lima dekad pemergian datuknya itu, amat sesuai diadakan di situ. Pihak PPPR juga tiada sebarang masalah memberikan kerjasama dalam penganjurannya. Tahlil dan bacaan Surah Yasin dipimpin oleh pegawai dari Arkib Negara Malaysia (ANM).\nSelain waris dan ahli keluarga P. Ramlee, serta kenalan, peminat dan pengkaji, Najua dan Natasya turut mengundang orang ramai yang berkelapangan masa untuk hadir.\nAntara yang hadir termasuklah penyanyi veteran Rozita Rohaizad, pelakon veteran terkenal Mubarak Majid dan Rashidah Jaafar serta beberapa orang pelakon lain, seperti Mohd. Saifullah Ghazali, bersama-sama Pengarah Bahagian Arkib Negarawan, ANM, Hanizah Jonoh dan Pengurus PPPR, ANM, Daslila Mohd. Dahlan." "Belasungkawa Fatimah Chik: Pelukis Seni Budaya Tradisional Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPelukis wanita terkenal tanah air Fatimah Chik telah kembali ke Rahmatullah pada 26 Mei 2023 di Hospital Sungai Buloh, Selangor. Fatimah Chik yang meninggal dunia pada usia 75 tahun terlebih dahulu dimasukkan ke hospital kerana masalah jantung.\nPerjalanan pelukis wanita hebat ini bermula pada tahun 1968 ketika dia menyertai sekolah seni lukis dan seni reka di Institut Teknologi MARA (ITM) dalam jurusan tekstil.\u00a0 Setelah tamat pengajian Fatimah mula bekerja sebagai pereka di beberapa buah tempat dan kemudiannya menjadi pelukis sepenuh masa.\nKarya Fatimah Chik mempamerkan pengaruh kuat seni dan budaya tradisional Melayu dengan motif dan corak diilhamkan dari flora yang mengangkat tekstil dan seni Melayu tradisional.\u00a0 Tema seperti persoalan identiti, warisan, agama dan isu sosial mencerminkan pengalaman dan pemerhatiannya sendiri terhadap masyarakat lalu diterjemahkan dalam bentuk yang kreatif. Karyanya juga turut disulam dengan banyak elemen kontemporari dan ini mencipta satu gabungan unik estetika tradisional serta moden.\nPenggunaan warna-warna terang serta stroke yang ekspresif menambahkan lagi elemen bertenaga dan dinamisme pada karya seninya. Teknik catan batik dengan corak geometrik dengan komposisi menegak dan melintang yang begitu sebati serta sinonim dengan dirinya ialah manifestasi identitinya.\nFatimah menghasilkan karya bermula dengan dia mengecap kain dengan lilin panas dan mencelupkannya dalam pewarna berulang kali sehingga mencapai kesan yang diinginkan. Sentuhan kreatifnya bukanlah satu proses yang biasa, tetapi menggabungkan teknik batik tradisional dengan kaedah shibori; satu teknik pewarnaan seni Jepun kuno. Fatimah menggelarkan teknik ini sebagai kaedah \u201cshiboritik\u201c.\nFatimah juga pernah menyatakan bahawa dalam proses berkarya seseorang itu perlu menggambarkannya dahulu dalam mindanya. \u2018Visualisasikan dalam minda kerana produk akhir dalam fikiran kita bukan di atas kertas,\u2019 ujarnya. Fatimah juga tidak merancang apa-apa. Semuanya ada dalam fikiran. Jika dia berkeinginan sesuatu rekaan, maka terhasillah bentuk tersebut.\nIsteri kepada pelukis Redza Piyadasa ini turut menyatakan bahawa pada tahun 1974 ketika mengikuti suaminya ke Hawaii, Fatimah mula menemui dirinya sendiri serta akar budayanya. Perkenalan dengan seniman serta penyelidik di Hawaii membuatkan Fatimah menyedari dirinya tergolong dalam kumpulan budaya yang lebih unik daripada apa yang diketahui. Perkara ini merujuk kepada kepulauan Nusantara dan Malaysia adalah antara pulau-pulaunya.\nDi Hawaii juga Fatimah mula membuat kajian berkaitan dengan tekstil dan tradisi motif Asia Tenggara yang kemudiannya menjadi subjek utama dalam karyanya. Motif-motif ini ialah tanda dan simbol serta mempunyai makna falsafah yang simbolik berkaitan dunia yang kita diami.\nSekembalinya Fatimah ke Malaysia pada tahun 1977, dia mula memindahkan rekaannya kepada blok batik. Fatimah sering bereksperimen dengan pengubahsuaian reka bentuk yang mempunyai makna tersendiri. Tahun 80-an juga merupakan satu titik tolak yang penting buat kariernya sebagai seorang pelukis. Ketika itu berlaku satu era transisi penggunaan batik sebagai kraf kepada batik sebagai seni halus.\nDalam berkarya juga Fatimah telah berjaya menghasilkan pelbagai siri lukisan dan salah satunya ialah siri Sejadah yang dihasilkan pada tahun 2002. Siri lukisan ini merupakan salah satu daripada karyanya yang begitu kuat dengan pengaruh budaya Melayu dan agama Islam. Lukisan-lukisan ini dihasilkan berdasarkan motif bunga kenanga, pucuk rebung dan bentuk geometrik yang dihasilkan secara berulang-ulang dengan komposisi melintang dan menegak serta bersifat dekoratif tetapi masih kental dengan elemen tradisional Melayu.\nGabungan warna panas dan sejuk pula memberi kesan tersendiri pada khalayak yang melihatnya yang membangkitkan satu semangat yang begitu spritual kerana olahan warna tersebut benar-benar menyentuh emosi selain memberi rasa keselesaan. Sungguhpun demikian, yang lebih penting dalam siri Sejadah ini ialah maksud tersirat yang ingin ditonjolkan iaitu simbolik kepada syahadah yang dilafazkan iaitu \u201clailahaillallah\u201d. Siri ini juga mengingatkan kita kepada rukun Islam yang kedua iaitu solat.\nSemoga perjuangan seni Fatimah Chik menjadi pembakar semangat buat pengkarya tanah air untuk terus giat berkarya. Kegigihan Allahyarhamah juga harus menjadi contoh buat semua terutamanya seniman wanita agar terus cekal mengangkat martabat wanita agar sebaris dengan seniman lelaki. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atasnya.\n\u00a0\nPenulis merupakan pensyarah seni visual di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA)." "Filem Kehebatan Tentera Darat Malaysia di Pawagam Menjelang Hari Kemerdekaan ke-66\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Selepas menjalani penggambaran di Turki dan Malaysia dari 14 Jun sehingga 6 September 2022, filem yang diilhamkan daripada kisah benar, iaitu MALBATT: Misi Bakara bakal menjengah pawagam berhampiran anda bermula 24 Ogos 2023 depan.\nPengarah dan juga penerbitnya, Andrian Teh, mengesahkan bahawa filem bercorak aksi lasak patriotik ini sudah bersedia dipertonton bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan negara bagi tahun 2023.\n\u201cBaki beberapa bulan ini akan digunakan sebaik-baiknya untuk menyunting dan membuat sentuhan terakhir sebelum hari mula tayangan MALBATT: Misi Bakara,\u201d katanya yang juga pengarah PASKAL The Movie (2018), dan Wira (2019).\nAdrian memberitahu ketika berusia 17 tahun, beliau menonton filem Black Hawk Dawn (2001), arahan Ridley Scott (yang mengutip $173 juta), dan amat menyukai malah kagum dengannya.\n\u201cNamun demikian, saya langsung tidak terfikir akan berpeluang untuk menceritakan kisah bersejarah dalam Black Hawk Dawn itu dari sudut pandangan Malaysia,\u201d kata Adrian yang terpanggil untuk menceritakan kejadian sebenar kepada semua.\nJusteru, Adrian mengerahkan segala sumber, usaha, kepakaran dan teknik penggambaran untuk menyiapkan MALBATT: Misi Bakara. Beliau menganggap filem ini yang paling sukar dihasilkannya tetapi berharap semua orang akan berpuas hati kelak.\nAdrian menyatakan sedemikian ketika berucap dalam majlis Pelancaran Filem dan Sidang Media MALBATT: Misi Bakara di GSC Mid Valley pada 30 Mei lalu. Turut hadir ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab. Rahman; serta Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun, Tee Yee Peng, Dato\u2019 Razak Al-Malique, Carla Soong, Yk Tung dan Raja Jastina Raja Arshad selaku Penerbit Eksekutif.\nTimbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dato\u2019 Kamil Othman; Pengarah Kanan Kejuruteraan FINAS, Ts Raja Adhzim; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Land, Syed Ali Shahul Hameed; Pengarah Urusan Berjaya Pictures, Budi Citawan Wan Hanafi; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Golden Screen Cinemas, Koh Mei Lee turut hadir.\nMenariknya, selain merupakan filem Malaysia pertama dalam IMAX, MALBATT: Misi Bakara juga ialah filem tanpa watak wanita apabila dibintangi 17 orang pelakon lelaki tanah air bertaraf bintang/besar dan kecil mendukung watak anggota Tentera Darat Malaysia.\nKesemua mereka kecuali Fauzi Nawawi, iaitu Bront Palarae, Shaheizy Sam, Hairul Azreen, Zahiril Adzim, Iedil Dzuhrie, Adlin Aman Ramlie, Tony Eusoff, Syazwan Zulkifly, Gambit Saifullah, Nafiez Zaidi, Dafi Ismail Sabri, Taufiq Hanafi, Ikhram Juhari, Safwan Nazri, Dini Schatzmann, dan Theebaan G ikut hadir.\nMALBATT: Misi Bakara dipersembahkan oleh Tentera Darat Malaysia bersama-sama Berjaya Pictures Sdn. Bhd., Act 2 Pictures Sdn. Bhd., Fast Bikes Sdn. Bhd., Aurum Investments Limited, serta Golden Screen Cinemas Sdn. Bhd., dan Astro Shaw Sdn. Bhd.\nMenurut Jeneral Datuk Seri Mohammad dalam ucapan beliau, pihaknya berharap MMB dapat memaparkan fakta sebenar peristiwa bersejarah di Mogadishu itu kerana dibuat berdasarkan maklumat daripada mereka yang terlibat secara langsung dalam pertempuran tersebut.\n\u201cFakta sebenar memang penting ditonjolkan demi menghargai pengorbanan anggota tentera yang menyabung nyawa untuk menyempurnakan amanah negara,\u201d tegas beliau yang kemudian ditambah oleh Hairul semasa soal jawab sidang media bahawa beliau memang mahu terlibat dengan filem yang boleh memaparkan kehebatan Malaysia dan angkatan tentera daratnya di mata dunia seperti MALBATT: Misi Bakara.\nPada majlis itu juga turut diumumkan beberapa buah anak syarikat kepada Berjaya Corporation yang menjadi rakan promosi filem MALBATT: Misi Bakara. Kesemuanya akan menampilkan pelbagai promosi bersempena dengan tayangan filem. Kerjasama penerbit filem dengan syarikat-syarikat gergasi tersebut bakal menjadi penanda aras kepada industri perfileman negara.\nBerjaya Pictures, sebuah anak syarikat di bawah Berjaya Land, merupakan pelabur terbesar dalam filem ini. Sehubungan dengan itu, Vincent berharap filem ini mampu memberikan inspirasi kepada penonton untuk menghargai perjuangan wira tanah air.\n\u201cWira-wira MALBATT telah membuktikan tiada halangan yang tidak boleh diatasi apabila kita berdiri bersama-sama. Mereka telah menunjukkan kuasa perpaduan dalam kepelbagaian. Ini ialah prinsip asas negara kita yang tercinta,\u201d kata Vincent.\nMALBATT: Misi Bakara menampilkan kisah benar mengenai operasi menyelamatkan tentera Amerika Syarikat yang terperangkap apabila helikopter Black Hawk mereka terhempas di Somalia.\nPada tahun 1993, semasa perang saudara di Somalia, kebuluran dan kematian melanda negara itu. Operasi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah ditubuhkan di Mogadishu untuk membantu serta melindungi kegiatan kemanusiaan daripada diserang dan disembelih oleh Panglima Perang Somalia Jeneral Mohamed Farrah Aidid, dan militannya.\nPada 13 Oktober 1993, selepas berjaya menyelamatkan wartawan asing daripada cengkaman militan, Batalion Malaysia (MALBATT) menerima perintah kecemasan baharu daripada Operasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Somalia atau UNOSOM.\nSemasa percubaan memberkas Menteri Luar Aidid dan penasihat politik tertingginya, dua buah helikopter tentera Amerika Syarikat ditembak jatuh. Juruterbang dan anak kapal bersama-sama 70 orang renjer Amerika Syarikat terperangkap dan dikelilingi militan tanpa jalan keluar.\nMisi MALBATT ialah membantu tentera Amerika Syarikat menyelamatkan semua anggota tentera mereka sama ada hidup atau mati." "Melestarikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu Tinggi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nBANGI\u2013Bulan Bahasa Kebangsaan mula digerakkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu agensi kerajaan yang diberi amanah untuk memajukan dan mengembangkan bahasa kebangsaan sejak tahun 1960-an. Gerakan Bulan Bahasa Kebangsaan yang disusuli dengan beberapa gerakan lain seperti Gerakan Cintailah Bahasa Kita dan Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta masih relevan dan terus dilaksanakan untuk memacu perkembangan bahasa menurut keperluan zaman. Kini, antara keperluan yang mendesak termasuklah melestarikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi.\nDalam usaha menyuburkan karya ilmu, daya hidup tamadun menjadi faktor yang penting. Daya hidup tamadun sesuatu bangsa banyak bergantung pada perkembangan ilmu dalam pelbagai bidang. Beberapa asas falsafah dan kesejarahan telah dibincangkan dan disusuli oleh beberapa cadangan operasional untuk merealisasikan daya hidup tamadun melalui usaha penyuburan ilmu dalam kaitannya dengan pemerkasaaan tamadun Melayu.\nGlobalisasi sebagai fenomena sejagat memberikan kesan kepada tamadun sedunia. Pola globalisasi sehala (dari Barat ke Timur) perlu diubah dengan mewujudkan pola globalisasi dua arah (Barat ke Timur dan Timur ke Barat), salah satunya melalui sumbangan persuratan tamadun Timur. Keterbelakangan dalam bidang ilmu menjadi salah satu sebab yang menjejaskan daya hidup tamadun. Usaha pemerkayaan khazanah ilmu penting untuk daya hidup dan penakatan Melayu, termasuklah sebagai penyumbang globalisasi seimbang.\nDemikianlah antara penerangan menarik oleh Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, selaku Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), ketika menyampaikan ucap utamanya dalam Webinar \u201cBahasa Melayu dalam Pelestarian Budaya Keilmuan\u201d, bersempena dengan Program Bulan Bahasa 2021, anjuran Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dengan kerjasama ATMA, UKM, menerusi aplikasi Webex pada pukul 2.30 petang tadi, manakala YBrs. Profesor Madya Dr. Yazrina Yahya, Timbalan Pengarah AKEPT pula menyampaikan ucapan penutupan program.\nSementara itu, sesi perbincangan dalam format Sidang Meja Bulat yang bertemakan \u201cBahasa Melayu dalam Pelestarian Budaya Keilmuan\u201d bagi program Bulan Bahasa 2021 turut diadakan yang terbahagi kepada tiga bidang, iaitu sains dan teknologi, sains sosial dan kemanusiaan serta industri dan produktiviti.\nSidang ini dipengerusikan oleh Profesor Dr. Mariyam Jameelah Ghazali, Profesor Madya Dr. Zuliskandar Ramli dan Dr. Salvinder Singh. Sidang meja bulat ini menghimpunkan ahli akademik dalam setiap bidang yang menjadikan program ini sebagai platform kepada tokoh, ahli atau pakar bidang untuk membincangkan hala tuju dan peranan bahasa Melayu dalam pelestarian budaya keilmuan. Pandangan mereka itu kemudiannya dirumuskan dan dibentangkan kepada pihak AKEPT untuk diserahkan kepada pihak berkepentingan." "Balai Seni Negara Anjur\u00a0Pertandingan Bakat Muda Sezaman 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Balai Seni Negara akan menganjurkan Pertandingan Bakat Muda Sezaman 2023 (BMS23) yang terbuka untuk para seniman muda Malaysia di bawah usia 35 tahun.\nPertandingan seni visual dwitahunan BMS menjadi acara berprestij bagi pengkarya seni kontemporari untuk mengetengahkan idea dan kreativiti sezaman sejak diperkenalkan pada tahun 1974.\nDalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Balai Seni Negara hari ini, BMS23 yang berkonsepkan \u201cSeni di Lokasi\u201c menyediakan ruangan kepada seniman untuk mempamerkan kreativiti dalam konteks sezaman dengan kandungan karya yang mencabar ruang dan masyarakat.\nSelaras dengan objektif yang mengetengahkan idea dan kreativiti budaya kontemporari dalam pendekatan baharu, peserta bebas mencadangkan lokasi pilihan mereka di seluruh Malaysia bagi mempamerkan karya.\nPertandingan BMS23 juga membuka ruang cadangan yang lebih mencabar di mana-mana lokasi dengan penyertaan kolektif peserta bersama-sama masyarakat sebagai anjakan kepada peserta untuk meneroka ruang tanpa sempadan dalam penghasilan karya seni kontemporari bersesuaian dengan lokasi yang terpillih.\nPertandingan ini menawarkan hadiah sebanyak RM30 000 bagi pemenang Anugerah Utama dan Anugerah Juri berjumlah RM15 000.\nDi samping itu, Anugerah Pilihan Pelawat Online dan Anugerah Pilihan Pelawat On Site akan diberikan kepada tiga pemenang, iaitu tempat pertama berjumlah RM2500, tempat kedua RM1500 dan tempat ketiga RM1000.\nPenyertaan BMS223 terbuka kepada pelajar seni dan mahasiswa warganegara Malaysia, boleh disertai secara solo mahupun berkumpulan. Tarikh tutup pendaftaran bagi pertandingan adalah sebelum 31 Julai 2023.\nUntuk terma dan syarat, individu yang berminat boleh melayari laman sesawang Balai Seni Negara di laman web www.artgallery.gov.my atau menghubungi urus setia pertandingan melalui talian 03-40267000 atau e-mel kepada [email\u00a0protected]." "Adat Warisan Melayu Dipelihara Selagi Selari dengan Syarak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa adat warisan masyarakat Melayu perlu dipelihara selagi adat tersebut selari dengan hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh syarak.\nAdat warisan yang merupakan khazanah turun-temurun seharusnya tidak bertentangan dengan pegangan teguh Ahli Sunah Waljamaah agar terus lestari ke generasi seterusnya.\nWalaupun terdapat pepatah Melayu yang menyatakan \u201cbiar mati anak jangan mati adat\u201d, namun syariat yang merupakan undang-undang atau perlembagaan hidup masyarakat Melayu khasnya masyarakat Melayu Perlis perlu diberikan keutamaan kerana kedudukannya mengatasi adat resam yang telah diamalkan.\nDemikian titah baginda ketika berangkat mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis sidang pertama bagi tahun 2023 yang berlangsung di Wisma MAIPs, Pengkalan Asam, Kangar, Perlis.\nTitah baginda lagi, Islam membenarkan adat resam dalam masyarakat Melayu Perlis dan boleh diangkat menjadi hukum yang diguna pakai di sisi syariat sekiranya menepati syarat sesuatu uruf sebagaimana yang telah dibincangkan oleh ulama usul fiqah." "Puteri Daun Emas Cukup Rencah sebagai Teater Bangsawan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJohor Bahru \u2013 Tema yang sangat relevan dengan senario pada masa ini yang dipaparkan dalam teater Puteri Daun Emas, cukup rencahnya untuk diangkat sebagai sebuah teater bangsawan.\nPuteri Daun Emas mengisahkan tentang fitnah yang berlaku di dalam istana dan perebutan takhta kerajaan Wangsa Ghaznawiyah sehingga Puteri Daun Emas dititahkan dibuang ke hutan belantara, dan diselamatkan oleh inang istana.\nSetelah dewasa, Puteri Daun Emas kembali semula ke istana dan membongkar semua rahsia kejahatan bonda tirinya yang menjadi dalang kehancuran kerajaan Wangsa Ghaznawiyah.\nHubungan golongan aristokrat dengan rakyat jelata jelas menjadi keutamaan dalam pementasan teater ini.\nPenyumbang utama dalam teater bangsawan ini ialah elemen extra-turn, iaitu slot selingan antara babak cerita dalam bangsawan yang mencerminkan identiti teater bangsawan.\nPenggunaan dialog bangsawan yang menggunakan bahasa istana dengan beberapa kosa kata sastera Melayu klasik oleh barisan pelakon anak-anak Johor yang berbakat besar dalam seni teater menjadikan teater bangsawan ini sangat \u201chidup\u201d dan mengagumkan.\nMenurut pengarahnya, Mann Che Kah, teater bangsawan di negeri Johor akan dijadikan produk seni dan sastera kebangsaan bagi menggalakkan pembangunan budaya setempat dan menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negeri.\nMann Che Kah merupakan aktivis teater negeri Johor yang disegani dan telah meraih banyak kejayaan dalam pementasan teater tempatan dan antarabangsa.\nPuteri Daun Emas merupakan karya terbaharu beliau yang dipentaskan di Dewan Utama, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru pada 9 dan 10 Jun 2023, anjuran Yayasan Warisan Johor dengan kerjasama Majlis Teater Negeri Johor serta sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS).\nTurut hadir sebagai tetamu kehormat ialah YAM Tunku Fatimah Tunku Osman, YB Profesor Dato\u2019 Dr. Kassim Thukiman, Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor dan Encik Mohd. Riduwan Wahab, Pengarah DBPWS." "Program Menyemarakkan Seni Budaya: Festival Seni Rakyat Terengganu Bakal Diadakan pada 17 Jun 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Terengganu \u2013 Program Menyemarakkan Seni Budaya: Festival Seni Rakyat Terengganu akan berlangsung pada 17 hingga 18 Jun 2023, Sabtu dan Ahad ini, di Pekarangan Kompleks JKKN Terengganu, Kuala Ibai, Terengganu. Pelbagai program kesenian dan kebudayaan rakyat Terengganu akan dipersembahkan kepada khalayak yang hadir.\nEncik Samsuring Meli,\u00a0 Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Terengganu ketika dihubungi berkata, program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Terengganu dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama erat jabatan kerajaan peringkat persekutuan dan negeri serta pertubuhan bukan kerajaan di Terengganu ini sangat bernilai dalam aspek kerjasama dan juga gabung jalin tenaga yang memberi manfaat besar kepada orang ramai melalui pengisian program yang bakal dilangsungkan.\nProgram yang julung kali diadakan di pekarangan Kompleks JKKN Terengganu ini memberi ruang dan peluang kepada penggiat seni dan agensi awam berkaitan untuk menyerlahkan bakat dan produk mereka dalam bidang seni dan budaya. Selain itu, program ini dapat membantu penggiat seni dan peniaga budaya menjana ekonomi melalui persembahan, pertandingan, pameran dan melalui keluaran produk-produk seni dan budaya yang dipamerkan dan dijual kepada orang ramai, misalnya makanan dan hasil kraf tangan.\nProgram ini juga mengangkat identiti seni warisan dan budaya negeri Terengganu yang hampir pupus, misalnya kesenian lagu Saba dengan mengadakan Bengkel Pemantapan Lagu Rakyat Terengganu (Lagu Saba) dan demonstrasi persembahannya pada 18 dan 19 Jun 2023 yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dengan kerjasama JKKN Terengganu dan Persatuan Selampit Seni Negeri Terengganu (SELAMPIT).\nDua orang tokoh penggiat lagu Saba ditampilkan, iaitu Mok Zah Saba, Tokoh Seni Budaya Terengganu dan Mohd Kharudin Hanippah, penggiat teater dan lagu Saba.\nAntara program memperkasakan seni budaya yang bakal memeriahkan program termasuklah Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, Pertandingan Gasing Pangkah, Demonstrasi Permainan Gasing, Pertandingan Busana Pendekar Muda, Pertandingan Ratu Kebaya Cilik, Demonstrasi Sobek Wau, dan Pertandingan Wau Lang Sapir (wau tradisi negeri Terengganu).\nTurut diadakan Pertandingan Tarian Rampaian Tradisional Sekolah Rendah dan Menengah, Pertandingan Memanah Dewasa dan Kanak-kanak, Permainan Tradisi Kanak-kanak, Pertandingan Karaoke Lagu-lagu Saleem Iklim. Artis jemputan yang diundang ialah Roy Kapilla dan Juara Bintang Asli Kebangsaan,\u00a0 Najib Hamzah. Persembahan kesenian rodat dan seni silat turut diketengahkan.\nIstimewanya program ini turut melibatkan masyarakat nelayan dan kampung dalam Demonstrasi Mukat Lekong, iaitu kaedah memukat ikan yang menjadi amalan tradisi masyarakat nelayan Terengganu. Pelbagai pameran daripada agensi kerajaan turut diadakan dan pemupukan budaya membaca melalui jualan buku dengan diskaun khas daripada Ujana Buku, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur memeriahkan lagi program.\nAyuh, datanglah beramai-ramai bersama-sama keluarga dan sahabat handai ke Program Menyemarakkan Seni Budaya: Festival Seni Rakyat Terengganu!" "Lukisan Akrilik Dekat di Hati Azrin Abu Seman\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSejak usia 11 tahun lagi Azrin Abu Seman atau lebih mesra dikenali sebagai Aren, mula didedahkan dengan dunia seni catan atau lukisan. Ayah beliau, Abu Seman yang merupakan seorang pegawai perikanan yang gemar melukis pelbagai subjek dalam karya lukisannya. Bak kata orang, di mana tumpahnya kuah jikalau tidak ke nasi, begitulah Aren dan ayahnya.\n\u201cAyah saya gemar melukis pemandangan, flora dan fauna. Beliau sangat menggalakkan kami empat orang adik-beradik untuk menerokai hobi melukis. Namun akhirnya, hanya saya yang mewarisi bakat beliau dan serius dengan minat tersebut.\n\u201cSebenarnya sejak dari sekolah rendah lagi saya mempunyai minat terhadap apa sahaja aktiviti melibatkan seni seperti lakonan, tarian, nyanyian, kesusasteraan dan pastinya melukis. Minat melukislah yang paling dekat dengan jiwa saya.\n\u201cKarya pertama yang saya lukis ialah tumbuh-tumbuhan. Melihat hasilnya, saya tidak berpaling lagi untuk serius melukis. Medium lukisan saya tidak sahaja terhad kepada kertas lukisan, namun pokok-pokok tanaman ibu saya yang mempunyai saiz daun yang besar menjadi tempat saya berkarya sehinggakan ibu saya memarahi saya. Namun kejadian seumpama itu tidak menghentikan minat saya menerokai dunia lukisan dan seni,\u201d jelas Aren yang kerap kali menjadikan dinding rumahnya sebagai tempat berkarya.\nMenurut Aren lagi, pada era tahun 90-an, pendedahan mengenai peluang pendidikan dan pekerjaan melibatkan kerjaya \u201cpelukis\u201d agak terhad, justeru menyebabkan beliau beralih arah dengan menyambung pengajian dalam bidang seni bina.\n\u201cSaya menyambung pengajian peringkat Sijil Seni Bina di Institut Kemahiran MARA (IKM) di Alor Star, Kedah selama dua tahun. Selepas tamat pengajian, saya bekerja hampir setahun sebagai juru teknik bangunan di sebuah syarikat swasta di Subang Jaya, Selangor.\n\u201cWalaupun telah bekerja, saya masih menyimpan keinginan untuk menyambung pengajian dalam bidang seni bina. Alhamdulillah permohonan saya menyambung pengajian di Institut Teknologi MARA (UiTM) cawangan Seri Iskandar, Perak diterima. Selama hampir empat tahun belajar di UiTM Seri Iskandar, saya didedahkan dengan pelbagai subjek seperti Asas Seni Bina, Lukisan Teknikal dan Sejarah Seni Bina.\n\u201cSelepas berjaya menggenggam Diploma Seni Bina, saya mendapat tawaran menyambung pengajian dalam bidang Seni Bina Perancangan Perumahan dan Bangunan di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang,\u201d terang Aren lagi.\nOleh sebab pembelajaran asas seni bina Aren telah kukuh, pembelajaran beliau di peringkat ijazah ini membolehkannya mengaplikasikan ilmu dan pengalaman belajar dari peringkat sijil, diploma hinggalah bekerja sebagai seorang juru teknik bangunan.\n\u201cSaya juga didedahkan aspek-aspek perancangan, pengurusan dan pentadbiran dalam industri seni bina. Walaupun memberi fokus pembelajaran dalam aspek seni bina, saya sebenarnya tidak pernah meninggalkan aspek \u201cseni dan melukis\u201d secara total. Minat dan kemahiran seni lukis saya berkembang dan tumbuh selari dengan kemajuan pencapaian akademik saya.\n\u201cSepanjang di USM, saya kerap menyertai Bengkel Seni Bina anjuran Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM). Bengkel yang diadakan setiap tahun ini memerlukan saya memerah idea dan kreativiti serta menzahirkan bakat seni saya dalam setiap projek seni bina berdasarkan tema yang disyaratkan oleh pihak penganjur.\n\u201cBengkel Seni Bina ini disertai oleh semua pelajar dan pensyarah universiti di Malaysia yang menawarkan kursus dan program Seni Bina. Selain pameran, terdapat pelbagai pengisian yang dibuat oleh pihak penganjur antaranya pertandingan projek seni bina terbaik,\u201d ujar Aren.\nBergelar Pensyarah Seni Bina\nAren yang kini merupakan seorang pensyarah seni bina di Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) masih lagi meneruskan minat beliau melukis khususnya menghasilkan lukisan abstrak.\n\u201cOleh sebab saya belajar dan bekerja dalam bidang seni bina, seni yang saya terjemahkan lebih kepada konsep teknikal dan berdasarkan keperluan projek. Contohnya jika saya terlibat dalam projek pembinaan taman perumahan, jadi saya perlu mengkaji keperluan struktur binaan dan bahan serta kos pembinaan rumah terbabit. Perkara tersebut lebih serius berbanding dengan melukis lukisan abstrak atau projek lukisan secara adhoc seperti melukis mural, dekorasi atau seni hias dalaman bangunan-rumah.\n\u201cNamun dengan melukis lukisan abstrak khususnya, saya lebih bebas berkarya dan memilih warna, medium dan saiz kanvas. Biasanya saya berkarya apabila mempunyai masa terluang khususnya hujung minggu. Saya jadikan melukis ini sebagai hobi sampingan yang sebenarnya turut menjana pendapatan sampingan. Kini saya telah berjaya menjual hampir 20 unit lukisan di atas kanvas dalam pelbagai saiz.\n\u201cSaya serius melukis ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula tahun 2019. Oleh sebab saya mengajar secara online, masa saya di rumah lebih banyak dan bagi mengisi waktu yang terluang itu, saya mula melukis di atas kanvas dengan menggunakan medium akrilik. Akrilik tidak sahaja mudah dibancuh dan digunakan berbanding dengan cat minyak selain mempunyai karaktor yang tersendiri. Ini menyebabkan saya amat menyukai medium akrilik.\n\u201cPada peringkat awal, sekadar untuk mengisi masa lapang, namun apabila saya berkongsi setiap karya lukisan saya di media sosial peribadi, ramai kenalan alam maya yang menyatakan minat untuk membelinya,\u201d terang Aren yang menjual lukisannya dengan harga bermula daripada RM1,500, bergantung kepada saiz, medium dan masa yang diperlukan untuk menyiapkan sesebuah lukisan tersebut.\nMenurut Aren lagi, dalam bidang seni bina, beliau menjadikan Frank Gary (Kanada) dan Zaha Hadid (Iraq-British) sebagai idola, manakala dalam bidang seni lukis Aren meminati sentuhan Jackson Pollock (Amerika Syarikat), Gerhard Richter (Jerman) dan Le Corbusier (Perancis).\nPencapaian \nDi samping fokus dalam kerjaya beliau sebagai pensyarah, beliau turut berkesempatan menyertai pelbagai pertandingan melibatkan seni bina dan lukisan. Antara pencapaian beliau ialah pemenang tempat kedua Pertandingan Menghias Balkoni, KL Park Festival yang bertemakan \u201cPop Art & Botanical Garden, 2023\u201d anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).\n\u201cSaya mengambil masa hampir lima hari untuk menyiapkan lakaran sebagai syarat utama untuk dinilai oleh pihak juri. Daripada 30 penyertaan peringkat penilaian, sebanyak 20 penyertaan terbaik disenarai pendek termasuk penyertaan saya. Alhamdullilah, saya mendapat tempat kedua dalam pertandingan tersebut,\u201d jelas Aren yang merupakan antara pelukis amatur yang pernah menyertai Pameran Seni PANDORA anjuran Art Market Malaysia 2022. Selain itu, Aren juga pernah memenangi tempat ketiga, Pertandingan Menghias Kek 2019 anjuran DBKL.\n\u00a0Perancangan Masa Depan\nAren menyimpan impian untuk membuka sebuah akademi seni yang mempunyai komponen studio, bilik pameran, bilik mengajar dan lokasi penganjuran pelbagai acara seni. Hal ini penting untuk direalisasikan agar kemahiran dan pengalaman beliau dalam bidang seni bina dan seni lukis dapat dijadikan sebagai rujukan dan panduan kepada pelbagai pihak dan individu yang meminati bidang seni. Selain itu, Aren juga mahu mencipta nama sebagai pelukis abstrak yang berwibawa dan mampu menembusi industri seni kontemporari di luar negara.\n\u201cSaya juga mahu mendidik dan membetulkan tanggapan masyarakat bahawa bidang seni lukis mampu menjadi kerjaya yang stabil dan menjamin masa depan. Jika di luar negara, pelukis terkenal mampu menjual karya mereka jutaan ringgit, kenapa kita sebagai penggiat seni di Malaysia tidak mampu berbuat demikian.\n\u201cKemajuan teknologi komunikasi khususnya media sosial (Facebook, Instagram dan TikTok), menjadi pelantar promosi dan pemasaran yang sangat efisien. Jadi saya berharap, para pelukis amatur seperti saya dapat menggunakan kemudahan tersebut dengan berhemah demi kemajuan industri seni (lukisan) di negara ini,\u201d jelas Aren mengakhiri temu ramah." "Dato\u2019 Awie Berdendang Keroncong di Istana Budaya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bagaimana bunyinya apabila penyanyi terkenal tanah air yang sinonim dengan irama balada dan rock menyanyikan irama keroncong? Hal ini dapat diketahui apabila menonton Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia di Istana Budaya (IB) pada 5 dan 6 Ogos 2023.\nKeroncong merupakan antara genre muzik yang cukup berpengaruh dalam kalangan masyarakat kita. Oleh sebab menganggap keroncong ada keunikan dan keistimewaan tersendiri, pihak Irama Studios menganjurkan Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia (KAIKM) dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Digital serta Mycreative Ventures Sdn. Bhd.\nLebih mengujakan persembahan para penyanyi dalam konsert berkenaan akan diiringi pemuzik yang cukup prolifik dari Orkestra Keroncong Irama Perindu. Orkestra tersebut merupakan kumpulan pemuzik yang ditubuhkan pada tahun 2004 seiring dengan penubuhan Irama Studios sendiri.\nHaji Mahzan Manan selaku pengasas Irama Studios yang juga penganjur konsert berkenaan menegaskan yang paling utama pihaknya mahu irama keroncong terus bersemarak dan perkasa pada era sekarang kerana keunikan dan keistimewaannya yang tersendiri.\n\u201cKonsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia juga tidak dikhususkan untuk peminat tegar sahaja. Sebagai penganjur, kami mahu menarik minat penggemar muzik baharu untuk ikut mengenali seterusnya menikmati irama keroncong yang tidak wajar dilupakan,\u201d ujar Mahzan yang juga komposer veteran.\nBeliau seterusnya berharap KAIKM ini akan membuka mata dan mengimbau kembali lagu-lagu lama yang nostalgik menerusi lantunan vokal penyanyi hebat tanah air. Antara penyanyi veteran terkenal dan berpengalaman luas yang akan menjayakan KAIKM ialah Dato\u2019 Yusni Hamid yang cukup ikonik dengan irama keroncong.\nYusni\u00a0 bersama-sama Dato\u2019 Khadijah Ibrahim, Dato\u2019 Awie dan Datin Alyah yang bukan sinonim dengan irama keroncong. Mereka turut disokong oleh pelapis generasi baharu, iaitu Rasyidah Abd. Rahim (Bintang Klasik 2012), Rizal Ahmad (juara Bintang Nostalgia 2013) dan Jamilah Abu Bakar (Puteri Keroncong).\nSelain itu, kemunculan Han Byul Juara Big Stage 2019 juga akan memberi kelainan dalam konsert ini kerana penyanyi kelahiran Korea tersebut akan turut berdendang irama keroncong yang merupakan pengalaman yang cukup baharu bagi dirinya.\n\u201cPara peminat mungkin sudah biasa mendengar Dato\u2019 Yusni Hamid melantunkan irama keroncong. Begitu juga dengan Dato\u2019 Khadijah Ibrahim yang bersuara merdu ketika menyanyikan lagu-lagu malar segarnya,\u201d tambah Mahzan.\nDatin Alyah pula, kata beliau lagi, mempunyai kredibiliti tersendiri dalam menyampaikan apa juga genre lagu kerana kehebatan bermain dengan emosi.\n\u201cTetapi, memang jarang kita melihat Dato\u2019 Awie menyanyi lagu keroncong kerana beliau sangat kental dengan lagu rock. Jadi, bayangkan bagaimana Dato\u2019 Awie menyanyi keroncong?\u201d ujar Mahzan lagi.\nSementara itu, Alyah menganggap kesempatan yang diberikan oleh Irama Studios untuk terbabit dalam KAIKM ialah satu penghormatan kepadanya.\n\u201cSebagai penyanyi generasi pada masa ini, dapat berkongsi panggung dengan dua orang biduanita tersohor, iaitu Dato\u2019 Yusni Hamid dan Dato\u2019 Khadijah Ibrahim, yang amat saya segani memang mengujakan,\u201d kata Alyah yang berharap pembabitannya dalam konsert berkenaan akan menambahkan ilmu buat diri sendiri dan menjadi kenangan manis kepada semua.\nSelain Mahzan dan Alyah, turut hadir termasuklah Yusni, Han, dan Rizal serta Nazrul Asraff Mahzan (anak Mahzan sendiri) selaku penganjur bersama.\nSementara itu, Awie ketika dihubungi mengaku teruja untuk mendendangkan irama keroncong yang disifatkan mencabar kewibawaannya sebagai penyanyi solo.\n\u201cSejujurnya saya sendiri teruja untuk mendengar suara sendiri menyanyikan lagu keroncong. Irama ini tidak mudah bagi saya, apatah lagi ia bukan \u2018makanan\u2019 saya. Tetapi, sebagai pelaku seni yang menghargai irama keroncong dan membesar bersama-samanya saya harap mampu memberikan variasi baharu dalam penyampaian keroncong iaitu keroncong cara Awie,\u201d katanya.\nPersoalan jenis keroncong Malaysia yang akan ditampilkan dan lagu-lagu yang bakal didendangkan \u2013 sama ada hanya ciptaan Mahzan atau lagu popular yang dikeroncongkan, atau lagu-lagu keroncong popular seperti Keroncong Kuala Lumpur, Alunan Biola, Uda dan Dara dan Keroncong untuk Ana turut berkumandang, akan terjawab dengan menonton konsert ini.\nAntara melodi lagu popular ciptaan Mahzan termasuklah Sepetang di Pinggir Bukit (Dato\u2019 Sudirman Haji Arshad), Cinta Abadi (Dato\u2019 DJ Dave), Bunga Mawar (Gaya Zakri), dan Kerana Janji (Noor Kumalasari)." "Outlet Baharu Karyaneka Dirasmikan di Muzium Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2013 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Kraftangan Malaysia dan anak syarikatnya, iaitu Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn. Bhd. (Karyaneka) telah mengadakan Majlis Perasmian Outlet Baharu Karyaneka di Muzium Negara. Majlis perasmian disempurnakan oleh YBhg. Datuk Hajah Saraya Arbi, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pada hari Jumaat, 16 Jun 2023. Turut hadir YBrs. Puan `Ainu Sham Haji Ramli, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia dan YBhg. Datuk Kamarul Baharin A. Kasim, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia.\nKaryaneka ditubuhkan pada tahun 1982 yang berperanan mempromosi dan memasarkan produk kraf tempatan daripada usahawan dan komuniti kraf seluruh negara. Pembukaan outlet baharu Karyaneka di Muzium Negara merupakan usaha berterusan untuk memasarkan produk kraf kepada pengguna. Sehingga kini Karyaneka mempunyai 10 outlet yang beroperasi sepenuhnya iaitu di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Kompleks Kraf Langkawi, Kompleks Kraf Johor, Kompleks Kraf Melaka, Malaysia Tourism Centre (MaTiC) Jalan Ampang, Dataran Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Parlimen Malaysia serta di Muzium Negara.\nSempena dengan pembukaan outlet baharu, Karyaneka memberikan diskaun 10% bagi setiap pembelian produk kraf dan produk mangkuk tingkat (tiffin) percuma untuk setiap pembelian sekurang-kurangnya RM250. Karyaneka menawarkan produk kraf yang autentik dan beridentiti Malaysia bagi segmen produk cenderamata, hiasan dalaman, perhiasan diri, fesyen dan tekstil serta hiasan laman dan taman.\nSelain daripada outlet fizikal, pembelian secara dalam talian juga boleh didapati di www.karyaneka.com.my. Karyaneka turut menyediakan perkhidmatan tempahan produk cenderamata kepada badan-badan korporat, swasta dan agensi kerajaan secara bersemuka. MOTAC berharap dengan pembukaan outlet baharu Karyaneka di Muzium Negara, kepelbagaian produk kraf tempatan dapat ditawarkan kepada pelancong dalam dan luar negara." "Sambutan Minggu Arkib Antarabangsa 2023 Manifestasi Usaha Memelihara Khazanah Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sambutan Minggu Arkib Antarabangsa 2023 dilaksanakan bermula dari 9 Jun hingga 16 Jun 2023 yang lalu merupakan manifestasi usaha untuk memelihara dan melestarikan bahan arkib negara sebagai khazanah negara dalam memupuk integrasi nasional.\nSambutan minggu tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang di Auditorium Pusat Pendokumentasian dan Pemeliharaan Audiovisual (PPPAV), Arkib Negara Malaysia (ANM).\nBeliau berkata Malaysia memiliki kemajmukan dan kepelbagaian etnik, agama, budaya dan tradisi yang menjadi nadi kekuatan negara untuk mengukuhkan integrasi nasional dalam kalangan masyarakat.\n\u201cPenguasaan pengetahuan khususnya dalam bidang sejarah merupakan perkara asas bagi seseorang warganegara memahami dan menghayati sulur perpaduan negara supaya mempunyai semangat jati diri untuk membina sebuah negara yang bersatu dan kuat,\u201d katanya ketika berucap merasmikan sambutan Minggu Arkib Antarabangsa 2023 semalam.\nTambah beliau, ANM sebagai penyimpan khazanah warisan negara melalui bahan arkibnya seperti dokumen, gambar dan sebagainya telah menjadi sumber rujukan yang boleh disebarluaskan untuk menghasilkan generasi berilmu dan kaya jiwa sejarahnya.\nKatanya, peranan arkib adalah sebagai wahana perpaduan yang amat signifikan dalam menyemarakkan semangat rasa cinta kepada negara bangsa sesuai dengan aspirasi dasar perpaduan negara untuk melestarikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.\nBeliau kemudiannya menyempurnakan gimik pelancaran majlis sambutan tersebut dengan memukul gong sebanyak tiga kali.\nSempena majlis tersebut turut diadakan program simbolik penyerahan koleksi persendirian tokoh dan pertubuhan kepada ANM iaitu koleksi YBhg. Tan Sri Zaman Khan, Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Dato\u2019 Haron Din, Persatuan Gabungan Komputer Nasional Malaysia (MNCC) dan Persatuan Soka Gokkai Malaysia." "Komposer Antarabangsa Undang Siti Nurhaliza Jayakan Konsert Mega\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sembilan tahun lalu, ketika belum lagi bergelar penyanyi nombor satu Malaysia, Dato\u2019 Sri Siti Nurhaliza berpeluang beraksi sepentas dengan pemuzik terkenal antarabangsa, David Foster bagi menjayakan sebuah konsert.\nMenurut Dato\u2019 Sri Siti Nurhaliza, beliau kemudian berdoa agar kesempatan itu bukan yang terakhir. Ternyata doanya dimakbulkan Allah SWT apabila sekali lagi berpeluang menjayakan konsert Foster, bukan sahaja berlangsung di Malaysia, malah juga di Indonesia pada bulan Ogos 2023. Lebih menarik, Foster sendiri yang mengundang beliau.\nKonsert eksklusif itu dinamakan Hitman David Foster and Friends Asia 2023. Di Malaysia, konsert tersebut akan berlangsung pada 7 Ogos 2023, sementara di Indonesia sehari kemudian.\nDianjurkan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dengan kerjasama B De Paris Beauty Project Ent. Di Kuala Lumpur, konsert mega tersebut dijangka mendapat sambutan luar biasa daripada peminat tempatan dan antarabangsa apabila bakal berlangsung buat pertama kalinya di Mega Star Arena.\nWalaupun merendah diri dengan menganggap dirinya belum terkenal pada peringkat antarabangsa, tetapi Dato\u2019 Sri Siti Nurhaliza tetap layak berdasarkan pengalaman 27 tahun bergiat dalam bidang seni suara tanah air dan memenangi lebih 300 anugerah.\nDato\u2019 Sri Siti Nurhaliza mengatakan sedemikian semasa sidang media konsert Hitman David Foster and Friends 2023 pada 7 Jun 2023 yang lalu. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato\u2019 Mohd. Aizuddin Mohd. Ghazali.\nBeliau berharap dapat benar-benar bersedia dari segi vokal dan mental untuk memberikan persembahan terbaik serta habis-habisan meskipun hanya mengalunkan dua buah lagu.\n\u201cSaya juga amat gembira untuk para peminat tempatan dan antarabangsa kerana di samping berhibur, mereka turut menyumbang untuk dana kebajikan di Malaysia menerusi PRIHATIN,\u201d tambah beliau yang menganggap dirinya mewakili Malaysia dan berterima kasih kepada penganjur konsert.\n\u201cKonsert ini juga membolehkan rakyat Malaysia memberi sumbangan secara tidak langsung bagi membantu mereka yang memerlukan di luar sana,\u201d tegas Dato\u2019 Sri Siti Nurhaliza yang merahsiakan lagu ciptaan Foster, dan lagu popular beliau ciptaan komposer tempatan yang bakal dinyanyikan nanti.\nPenubuhan PRIHATIN sebagai sebuah organisasi kebajikan bertujuan menyediakan pelbagai bantuan kepada golongan miskin dan tiada kemampuan ke arah kehidupan yang lebih baik melibatkan tiga teras utama iaitu pendidikan, kepimpinan dan keusahawanan.\nSelain itu, PRIHATIN turut menjadi penggerak utama membantu kerajaan melaksanakan pelbagai program bercorak kemasyarakatan di seluruh negara dalam menyalurkan bantuan dengan telus dan sistematik.\nKonsert Hitman David Foster and Friends 2023 ini juga diadakan bersempena dengan hasrat menghargai para peminat Dato\u2019 Sri Siti Nurhaliza, sama ada tempatan mahupun antarabangsa hasil gabungan serta kolaborasi penyanyi terkenal tempatan dan pemuzik terkenal antarabangsa.\nSelain Dato\u2019 Sri Siti Nurhaliza, konsert ini turut menampilkan penyanyi terkenal era 1990-an, Michael Bolton, dan Peabo Byson serta Katherine Hope McPhee dan Loren Allred. Mereka akan menemani Foster di sepanjang konsert berskala besar ini.\nFoster, 73 tahun, yang dilahirkan di British Columbia, Kanada merupakan pencipta melodi, penyusun, eksekutif muzik, penerbit album dan telah memenangi 16 anugerah daripada 47 pencalonan Anugerah Ammy.\nMerangkumi genre klasik, pop, rock, gospel, R&B dan jazz, antara melodi ciptaannya yang popular termasuklah lagu Hard to Say I\u2019m Sorry nyanyian Chicago, Goodbye (Air Supply), In the Stone (Earth, Wind & Fire), The Best of Me (Olivia Newton-John-Foster), I Have Nothing (Whitney Houston), The Colour of My Love (Celine Deon), dan When a Man Loves a Woman (Bolton).\nKonsert ini dijangka menjadi satu fenomena baharu bagi peminat tempatan dan antarabangsa apabila menggamit memori gandingan Dato\u2019 Sri Siti Nurhaliza dan Foster pada tahun 2014. Konsert ini bakal mengukuhkan nama Malaysia di persada antarabangsa dan memperkuat hubungan Malaysia dengan negara luar, selain memperkasakan pendidikan menerusi PRIHATIN yang menganjurkan konsert amal antarabangsa berskala besar untuk mengumpulkan dana kebajikan.\nSementara itu, Dato\u2019 Mohd. Aizuddin menjelaskan penganjuran konsert Hitman David Foster and Friends Asia 2023 dapat memberikan faedah kepada anak-anak Malaysia\u00a0 yang kurang kemampuan bagi meringankan beban kos sara hidup di kampus.\n\u201cPRIHATIN amat proaktif dalam menjalankan program-program bersifat kebajikan, terutamanya dalam memperkasakan pendidikan negara ke tahap yang lebih tinggi di persada dunia,\u201d katanya yang teruja kerana berpeluang menganjurkan konsert ini yang bersifat komersial dan turut menekankan konsep \u201cberhibur sambil beramal\u201d.\nDato\u2019 Mohd. Aizuddin turut bersyukur dengan penglibatan semua artis yang bersetuju untuk bersama-sama mencari dana menerusi jualan tiket seterusnya menyalurkan sebahagian hasil jualan bagi tujuan kebajikan." "Festival Kesenian, Budaya dan Bahasa Melestarikan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat ke acara malam kemuncak Festival Kesenian, Budaya dan Bahasa Peringkat Negeri Perlis yang berlangsung semalam.\nFestival Kesenian, Budaya dan Bahasa yang berslogankan \u201cCitrawarna Pemangkin Ummah\u201d, Perlis sebagai Kota Puisi Islam merupakan anjuran Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nProgram ini selari dengan matlamat Pelan Strategik DBP 2021-2025 yang mengangkat tema pengupayaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa yang digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor seterusnya mempromosikan program seni budaya serta memupuk sikap megah bahasa dalam kalangan masyarakat.\nMalam Deklamasi Puisi ini diserikan dengan persembahan deklamasi sajak oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor dan Sasterawan Negara Dato\u2019 Rahman Shaari. Selain itu, turut membuat persembahan puisi ialah Angkatan Sasterawan Indera Perlis (AKSARA) dan Persatuan Penulis Perlis (3P).\nAntara aktiviti lain yang diadakan bersempena dengan festival ini termasuklah Pertandingan Deklamasi Puisi Piala Jamalullail, persembahan teater oleh UNIMAPs, pameran buku, pameran khat, pameran permainan tradisional, aktiviti derma darah dan trak jualan makanan." "Pelestarian Bahasa Etnik Sabah demi Generasi Muda\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSABAH\u2013Bahasa sukuan merupakan aset dan khazanah yang penting kepada negara. Bahasa sukuan merupakan lambang jati diri dan alat komunikasi komuniti. Sehubungan dengan itu, kesedaran peri pentingnya bahasa etnik harus dipulihara dan dilestarikan oleh semua pihak termasuk masyarakat umum.\nMenurut Puan Aminah Awang Basar, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, program yang berkaitan dengan bahasa etnik masih diteruskan oleh DBP Cawangan Sabah menerusi Unit Pembinaan Bahasa Sastera yang bertanggungjawab melaksanakan usaha pelestarian bahasa sukuan di Sabah melalui Pelan Strategik DBP 2021\u20132025, iaitu Bahasa Melayu Bahasa Ilmu: Khazanah Ilmu Terpelihara.\nAntara usaha DBP tersebut termasuklah memperkaya kosa kata dalam bahasa etnik melalui aktiviti perkamusan agar dapat digunakan sebagai sebahagian daripada bahasa kebangsaan. Bagi mengetengahkan bahasa sukuan di serata dunia, DBP memasukkan entri bahasa sukuan yang telah mantap ke dalam Kamus Dewan Perdana, iatu kamus terbaharu DBP yang mengandungi lebih daripada 120 ribu kata masukan.\nBidang perkamusan dalam bahasa sukuan diperluas kepada bahasa sukuan lain, antaranya termasuklah Kamus Bahasa Lotud\u2013Melayu Dewan, yang akan diterbitkan secara dalam talian melalui laman rasmi DBP www.prpm.dbp.gov.my. DBP juga mengusahakan Kamus Bahasa Dumpas\u2013Melayu Dewan, dengan kerjasama Persatuan Dumpas Sabah dan Kamus Bahasa Lundayeh\u2013Melayu Dewan.\nAntara usaha DBP yang lain termasuklah melalui bidang peristilahan. Contohnya, sejak tahun 1980-an, DBP Cawangan Sabah telah melaksanakan projek pengumpulan dan pendokumentasian kosa kata bahasa sukuan di Sabah dalam skala kecil tetapi dengan hasrat untuk memberikan manfaat kepada masyarakat. Beberapa Glosari Budaya Malaysia termasuklah istilah bahasa sukuan di Sabah telah diterbitkan seperti istilah seni anyam dan seni ukir.\nKini, melalui laman web DBP, sebanyak 6810 entri bahasa sukuan Sabah daripada pelbagai etnik seperti Kadazandusun, Murut Tahoi, Bisaya, Rungus, Kimaragang dan Bajau dapat diakses oleh masyarakat. Usaha ini masih diteruskan melalui Projek Pangkalan Data Bahasa Sukuan Sabah untuk bahasa Dumpas, Lundayeh, Bonggi, Kimaragang dan Rungus. Pendokumentasian secara dalam talian ini dapat memberikan manfaat kepada pelbagai pihak secara akses di hujung jari.\nSementara itu Dr. Jeanet Stephen, Ketua Kluster, BorIIS Universiti Malaysia Sabah berkata, proses pelestarian bahasa etnik mengambil masa yang lama dan langkah demi langkah perlu diteruskan untuk mengekalkan bahasa warisan ini. Antara objektif pelestarian itu termasuklah menambahkan lagi penutur bahasa etnik terutamanya dalam kalangan generasi muda. Semoga badan atau persatuan etnik dapat memanfaatkan Dekad Antarabangsa Bahasa Orang Asal 2022\u20132023, dengan memastikan generasi muda komuniti penutur bertambah dari semasa ke semasa.\nBagi Puan Rita Lasimbang, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bahasa Kadazandusun (KLF) pula, KLF sentiasa menyokong dan mempromosikan bahasa ibunda bahasa Kadazandusun. Aktiviti KLF dikategorikan kepada dua bidang yang saling melengkapi, iaitu melalui pemeliharaan bahasa ibunda dan pendidikan bahasa ibunda.\nAntara aktiviti KLF termasuklah memberikan latihan kepada guru sekolah rendah dan menengah dalam aspek bahasa Kadazandusun, bengkel penghasilan bahasa dan bacaan Kadazandusun, pertandingan menulis novel, demonstrasi bercerita dalam bahasa Kadazandusun, pemeliharaan dan pendokumentasian kesenian lisan, humius (puisi bahasa Kadazan), pendokumentasian adat perkahwinan tradisi Kadazandusun, latihan pendokumentasian kesenian lisan dalam kalangan generasi muda, dan kempen menggunakan bahasa ibunda di rumah.\nDemikianlah antara penerangan menarik yang disampaikan oleh para panel dalam Webinar Bahasa Etnik Sabah Hari Etnik Sabah yang berjudul \u201cBahasa Etnik\u2013Bahasaku, Nadi Budayaku\u201d, bersempena dengan hari kelahiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-68, yang diadakan secara langsung pada pukul 9.00 pagi tadi melalui saluran Facebook Live (Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah) dan YouTube Live (Sabah Gov Official). Yang turut hadir ialah Dinoza Mahruf, selaku moderator." "Pemangku Raja Perlis Menyempurnakan Penutupan Festival Seni, Budaya dan Bahasa di Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan penutupan dan pengurniaan Hadiah Piala Pusingan Jamalullail bersempena dengan Festival Seni, Budaya dan Bahasa Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) di Dewan Warisan Kangar pada malam semalam.\nKeberangkatan tiba baginda disambut oleh Rektor KUIPs, iaitu Profesor Dr. Mohd Rozaimi Ramle, pengurusan tertinggi kolej universiti yang bernaung sepenuhnya di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta tetamu kehormat lain yang lengkap memakai busana tradisional Melayu.\nSejurus berangkat tiba, baginda yang juga Canselor KUIPs berkenan menyalin penulisan al-Quran di lobi dewan sebagai simbolik perasmian.\nFestival Malam Deklamasi Puisi berslogankan \u201cCitrawarna Pemangkin Ummah\u201c, Perlis Kota Puisi itu dianjurkan oleh KUIPs dengan kerjasama MAIPs, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nSelain Sasterawan Negara Dato\u2019 Rahman Shaari, persembahan puisi turut dimeriahkan oleh Hj. Mohd Nazim Mohd Noor (KPE MAIPs), Profesor Madya Dr. Nor Hasimah Ismail (UUM), Muhammad Nur Fiqri Mohd Hajar, Azmi Samad, Nor Aisyah Ahmad dan Ummu Aiman Azmi (KUIPs), Zalina Ahmad dan Tengku Hamidah Mas Abdullah Akhir (AKSARA), Norzaidi Hamad (Persatuan Penulis Perlis) serta Mohamad Zaki Abdul Halim dan Juliana Ahmad (UniMAP/AKSARA).\nSelain itu, turut dipersembahkan silat dan nasyid oleh Kumpulan Simfoni." "Kapal Mendam Berahi Benar-benar Wujud?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\nMelaka \u2013 Seminar Kapal Mendam Berahi: Realiti atau Mitos? telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka, pada pagi ini.\nSeminar yang dianjurkan oleh Muzium Seni Bina, Jabatan Muzium Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Muzium Negeri Melaka, diadakan bertujuan untuk merungkai persoalan yang melibatkan kewujudan, reka bentuk dan fungsi kapal Mendam Berahi ketika era kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.\nTYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam dalam ucapan perasmian menyatakan bahawa pada zaman dahulu, tamadun Melayu merupakan tamadun yang hebat. Namun begitu, kini masyarakat kita ketinggalan dalam banyak perkara, termasuklah dalam hal sejarah dan warisan.\n\u201cBangsa kita bukan calang-calang orang. Tamadun kita, tamadun yang hebat sehingga menjadi tempat pertemuan dunia Timur dan Barat. Begitulah hebatnya sejarah bangsa dan negara kita. Kembalikanlah kegemilangan ketamadunan ini dengan tindakan yang sewajarnya setelah kita berseminar pada hari ini,\u201d ujar TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam.\nKapal Mendam Berahi yang dipercayai wujud sezaman dengan Laksamana Hang Tuah ini dikatakan sebuah kapal gergasi yang amat digeruni oleh pihak lawan pada suatu masa dahulu. Kapal ini berfungsi sebagai penjaga keselamatan perairan Melaka dan melaksanakan misi diplomatik serta perdagangan ke negara luar.\nSeminar\u00a0 selama dua hari ini, iaitu bermula pada 19 Jun 2023 hingga 20 Jun 2023, berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC) Ayer Keroh, Melaka, menampilkan lapan orang pembentang yang terdiri daripada ilmuwan dan penyelidik kapal Mendam Berahi, iaitu Profesor Emeritus Dato\u2019 Paduka Dr. Hashim Musa; Profesor Madya Dr. Rohaida Kamarudin; Drs. Mohd Nasruddin Rahman; Dr. Mohd Akbal Abdullah; Dr. Mohd Hasanuddin Mohd Yusof; Datuk Haji Mohammad Ismail Othman; Dr. Ahmad Jelani Halimi; dan Profesor Madya Dr. Asyaari Muhamad.\nYang turut hadir pada majlis perasmian Seminar Kapal Mendam Berahi: Realiti atau Mitos? ialah Dato\u2019 Indera Noridah Abdul Rahim, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara; Datuk Zaidi Attan, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya mewakili Datuk Seri Ab Rauf Yusof, Ketua Menteri Melaka; dan Datuk Kamarul Baharin A.Kasim, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia." "Ekspo Buku Malaysia 2024 bakal Mewarnai Tahun Melawat Melaka 2024\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDurian Tunggal \u2013 Majlis Pelancaran Ekspo Buku Malaysia 2024 telah dirasmikan pada petang ini oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka yang juga merangkap Canselor Universiti Teknikal MalaysiaMelaka (UTeM).\nMajlis pelancaran yang berlangsung di Auditorium UTeM merupakan usaha promosi dan hebahan awal kepada masyarakat tentang Ekspo Buku Malaysia 2024 yang akan berlangsung pada 28 Februari 2024 hingga 3 Mac 2024.\nEkspo Buku Malaysia 2024 yang dianjurkan oleh Yayaysan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dengan kerjasama UTeM dan Yayasan Bank Rakyat akan diadakan di Melaka pada tahun hadapan sebagai satu daripada pengisian Tahun Melawat Melaka 2024. \nEkspo ini diadakan bertujuan untuk mengetengahkan buku ilmiah, buku berkaitan dengan pendidikan dan bacaan umum seperti novel dan buku rujukan akademik yang sesuai untuk pelajar, pensyarah dan masyarakat.\nTYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam dalam ucapan perasmian menyatakan bahawa penganjuran Ekspo Buku Malaysia 2024 mampu meningkatkan minat membaca dalam kalangan masyarakat, selain menggerakkan kegiatan penerbitan dan perbukuan di negeri Melaka.\n\u201dSaya percaya gerakan merakyatkan buku menerusi ekspo ini dengan kerjasama seluruh warga industri yang akan berhimpun kelak pasti menyemarakkan momentum industri tanah air ke arah suasana yang lebih makmur dan intelektual,\u201d kata TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam.\nDalam majlis tersebut, turut diumumkan YBhg. Profesor Emeritus Dr. Zainal Kling dan YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran [mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)] sebagai penerima Anugerah Khas Buku Negara. Anugerah Khas Buku Negara diberikan untuk mengiktiraf jasa dan sumbangan penerima terhadap perkembangan dan kemajuan industri perbukuan di Malaysia.\n\u00a0\nLebih bermakna lagi, dalam Majlis Pelancaran Ekspo Buku Malaysia 2024, TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam juga turut menyampaikan sijil pelantikan kepada 17 buah agensi yang terpilih sebagai rakan strategik Eskpo Buku Malaysia 2024. \nAgensi yang tersenarai ialah DBP, UTeM, Majlis Profesor Negara, Astro Awani, Arkib Negara Malaysia, Yayasan Bank Rakyat, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, MITC, Melaka, TikTok Malaysia, Institut Terjemahan & Buku Malaysia, Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia, Institut Kepimpinan Bitara Malaysia, PADIGITAL Graha Utama, Kangen Water \u2013 Top Gun Group, BC Solution, Love Novel Publishing Sdn. Bhd. dan Penerbitan Karyaseni Sdn. Bhd..\nYang turut hadir dalam majlis Pelancaran Ekspo Buku Malaysia ialah YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, Pengerusi Lembaga Pengelola YPBN; YBhg. Profesor Ts. Dr. Massila Kamarudin, Naib Canselor UTeM; dan YBhg. Dato\u2019 Dr. Husaini Omar, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti." "Man Kayan \u201cPermata\u201c Lagu Rakyat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPertama kali melihat persembahan Man Kayan sekitar tahun 2013 di Kuantan, saya mendapati beliau ada sesuatu yang istimewa. Sesuatu yang dimiliki oleh beliau itu amat luar biasa. Tatkala tidak ada siapa anak muda hendak mengambil genre lagu rakyat sebagai bahan untuk diperjuangkan, beliau memulakan langkah dengan menubuhkan kumpulan ANAK KAYAN.\nLagu rakyat Melayu ialah kepunyaan bangsa Melayu dan bukan berteraskan populariti atau komersil, sebaliknya ialah khazanah turun-temurun warisan seniman intelektual Melayu. Seniman mencipta seni lagu dan seni lirik yang memberi makna besar dalam kehidupan harian dari zaman dahulu kala.\nMan Kayan, atau nama sebenar Noor Azman Norawi, sangat teruja apabila membicarakan perihal genre lagu rakyat dan seni pergendangan. Dia tidak boleh terlalu cerewet, tetapi pada masa yang sama tidak boleh terlalu menurut permintaan yang bukan-bukan seperti menyentuh soal keaslian seni gendang dalam lagu rakyat.\nMan Kayan menjelaskan bahawa asal usul seni gendang Melayu dimainkan dengan mengikut naluri dan merupakan luahan dari hati yang diterjemahkan dalam pukulan gendang. Permainan gendang tidak sama dengan permainan gitar yang mempunyai kod tertentu supaya selari dengan permainan instrumental yang lain.\n\u201cGendang ada pelbagai jenis. Tapi kami hanya fokus kepada dua jenis gendang iaitu gendang rebana dan gendang acara silat. Gendang silat ini dimainkan juga di acara tarian. Oleh itu, kami cuba pecahkan pemikiran ini. Macam busana, orang selalu memikirkan ia bermaksud hanya untuk bersilat. Sedangkan, orang berkahwin pun pakai busana. Itu tujuan penubuhan kumpulan kami. Mengembangkan kembali fungsi gendang secara lebih luas.\u201d jelasnya.\nMan Kayan percaya bahawa segala usahanya pada hari ini merupakan sesuatu yang akan dituai oleh generasi akan datang. Ibarat menanam pokok kelapa, perlukan waktu untuk tumbuh dan berbuah. Nikmatnya hanya\u00a0 dirasai dalam jangka waktu yang panjang, bukan serta merta.\nKelab Serindit Mati Tersepit \nPada tahun 2018, Man Kayan membuka Kelab Serindit Mati Tersepit yang membawa manifestasi bahawa beliau dan rakan-rakan hanyalah insan kerdil dalam dunia seni. Kalau mati tersepit sekalipun tidak\u00a0 ada orang peduli.\u00a0 Itu lebih senang bagi Man Kayan, mereka lebih mudah beraktiviti kerana tidak ada siapa akan mengongkong mereka berkreativiti. Man Kayan tidak suka apabila ada pihak mempergunakan insan seni untuk apa-apa kepentingan peribadi mereka.\nTapak tanah ibu mertua dijadikan lokasi kegiatan seni Man Kayan dan rakan-rakan. Secara berdikit-dikit Man Kayan dibantu oleh rakan-rakan membinanya dengan sabar. Aktiviti seni di kelab berjalan hampir setiap hari. Di sini disuburkan pelbagai genre seni, seperti teater, lagu rakyat dan puisi.\nSesuai dengan konsep marhaen, Man Kayan membebaskan sesiapa sahaja untuk hadir sama ada untuk berkarya dan bermain, atau dapat sahaja hadir untuk melihat suasana seni landskapnya atau menonton permainan lagu rakyat yang dimainkan. Hal ini akan membantu melebarkan kefahaman masyarakat bahawa seni daripada rakyat untuk rakyat itu masih relevan dan harus mudah diakses. Bukan seperti persembahan di pentas-pentas besar yang tiketnya tidak mampu dibeli oleh rakyat biasa.\nOleh sebab semakin lama semakin ramai yang berkunjung ke Kelab Serindit Mati Tersepit, Man Kayan dan rakan-rakan membuka warung makan di suatu sudut bagi memudahkan orang ramai bersantai makan minum dan berasa selesa untuk hadir. Paling menarik, apabila kami dihidangkan makanan rakyat marhain lempeng berkuah kari. Saya memilih minuman kopi \u201cO\u201c panas.\nPada malam itu dalam hujan renyai-renyai Man Kayan mendendangkan lima buah lagu rakyat khas untuk kami. Lirik lagunya penuh dengan pesanan dan pengajaran. Bagi pembaca yang ingin datang ke Kelab Serindit Mati Tersepit, lokasinya dapat ditemui berdasarkan alamat ini; Lorong Sg Isap 13, Kampung Permatang Badak, 25150 Kuantan, Pahang.\nSumbangan dan pencapaian Man Kayan\n2010-Naib Juara Cipta Lagu Pahang\n2012-Tokoh Penglipur Lara dalam Persembahan anjuran Jabatan Warisan Negara\n2012-Mengadakan persembahan mewakili Malaysia di South East Asean Night Universiti Exeter, London\n2013-Johan Pertandingan Gendang Silat Pahang\n2013-Mengadakan persembahan di Rain Forest Music Festival, Sarawak\n2013-Tempat ke-4 Festival Pergendangan dan Perkusi Peringkat Kebangsaan di Royal Belum, Perak\n2016-Mengadakan persembahan di Istana Budaya, Kuala Lumpur\n2018-Menubuhkan Kelab Serindit Mati Tersepit dengan mengumpulkan anak-anak seni sekitar\u00a0 Kuantan dan digabungkan dalam satu persembahan.\n2019-Dilantik sebagai Tourism Partner oleh World Homestay Organisation\n2019-Mengadakan Persembahan Lagu Rakyat Pahang sempena Festival Setanggi Antarabangsa di Kuantan, Pahang.\n2022-Menerima anugerah Adiguru Cendana." "Kewujudan Mendam Berahi sebagai Kapal Agung Kesultanan Melaka\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAyer Keroh \u2013 Seminar Kapal Mendam Berahi: Realiti atau Mitos? yang berlangsung selama dua hari bermula 19 hingga 20 Jun 2023 yang lalu di Melaka International Trade Centre\u00a0 (MITC)\u00a0 telah meluluskan tiga resolusi untuk di bawa ke peringkat Kerajaan Persekutuan.\nPengerusi Seminar Kapal Mendam Berahi: Realiti atau Mitos? yang juga Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata, resolusi pertama yang dipersetujui ialah menerima kewujudan sebuah Kapal Agung Kesultanan Melaka dan akan diselaraskan melalui Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) untuk sepersetujuan serantau.\n\u201cResolusi kedua ialah penyediaan dana atau geran penyelidikan yang dibiayai bersama oleh Kerajaan Pesekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak swasta bagi tujuan Research and Development serta pembangunan blueprint Kapal Agung Kesultanan Melaka.\n\u201cSeminar juga turut bersetuju membangunkan replika Kapal Agung Kesultanan Melaka sebagai lambang ketamadunan dunia maritim negara dan serantau,\u201d katanya di majlis penutup seminar itu, semalam.\nTeks resolusi itu dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Mohd Razaimi Hamat yang kemudiannnya diserahkan kepada Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Akramuddin Ab Aziz.\nSeminar Kapal Mendam Berahi: Realiti atau Mitos? anjuran Jabatan Muzium Malaysia dengan kerjasama PERZIM itu dihadiri lebih 400 peserta dan dirasmikan oleh TYT Melaka, Tun Seri Setia\u00a0 (Dr.) Haji Mohd. Ali Mohd. Rustam.\nSementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan menjelaskan Kerajaan Negeri bercadang membina semula replika kapal Mendam Berahi pada tahun hadapan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).\nKatanya, kapal yang dipercayai wujud pada zaman Laksamana Hang Tuah itu merupakan antara kehebatan bangsa Melayu dan wajar menjadi tatapan generasi masa ini.\n\u201cAntara lokasi utama yang dicadangkan bagi pembinaan replika ini adalah bersebelahan Muzium Kapal Selam di Klebang,\u201d katanya." "Buku Dari Bukit Katil ke Istana Melaka: Biografi Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam Dilancarkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBanda Hilir \u2013 Dalam usaha merekodkan perjalanan kisah hidup tokoh pemimpin di\u00a0 Melaka, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menerbitkan buku Dari Bukit Katil ke Istana Melaka: Biografi Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam.\nBuku yang diusahakan oleh sembilan orang penulis dengan ketebalan 236 halaman ini dicetuskan oleh pihak PERZIM kepada TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali pada tahun 2021, iaitu setahun sejurus pelantikan beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka.\nMajlis pelancaran buku disempurnakan oleh TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali di Hotel Casa Del Rio, di sini, dan turut dihadiri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan Melaka mewakili YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Haji Ibrahim bin Durum, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Tuan Ngwe Hee Sem, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan serta Datuk Akramuddin Abd Aziz, Pengerusi Lembaga Pengarah PERZIM.\nTerdahulu,\u00a0 telah diadakan Sesi Bicara Buku oleh Profesor Madya Dr. Arba\u2019iyah Mohd Noor yang merupakan Ketua Jabatan Sejarah, Universiti Malaya merangkap Ketua Editor buku Dari Bukit Katil ke Istana Melaka: Biografi Tuan Yang Terutama\u00a0 Tun\u00a0 Seri Setia (Dr.) Hj. Mohd Ali bin Mohd Rustam.\nMenurut Dr. Arba\u2019iyah, buku ini bermula dengan kisah kehidupan awal Tun Seri Setia Mohd Ali, keluarga, pendidikan serta perkahwinan sehinggalah kepada pembabitan beliau dalam persatuan belia dan badan sukarela.\n\u201cBuku ini juga memaparkan tentang bakat kepimpinan yang ada pada diri TYT Tun Seri Setia Mohd Ali dalam politik serta diberi kepercayaan dan amanah dengan\u00a0 memegang jawatan sebagai Pengarah Kemas, dan beberapa jawatan lain hingga dilantik sebagai\u00a0 Ketua Menteri Melaka ke-9\u00a0 pada 2 Disember 1999.\u201c\n\u201cBuku ini sangat komprehensif kerana\u00a0 garis masa dari awal kehidupan TYT Tun Seri Setia Mohd Ali hingga kini turut dapat dirasai oleh siapa yang membacanya. Jika dilihat dari segi bahasa, buku ini sangat mudah difahami.\u00a0 Sudah tentu pembaca dapat menghayati dan menjiwai setiap watak beliau dalam garis masa tersebut. Malah setiap kali membaca buku ini, kita akan mendapat pengajaran baru.\u00a0 Antaranya dapat memberi kesan kepada kita dalam menanamkan sifat kesabaran, ketekunan, kecekalan serta sifat tidak pernah gentar dan patah semangat.\u201c\n\u201cBuku ini juga telah menjawab beberapa persoalan yang pernah hadir dalam benak fikiran kita selama ini iaitu siapakah sebenarnya TYT Tun Mohd Ali bin Rustam? Bagaimana TYT Tun Seri Setia Mohd Ali boleh dilantik dalam mengemudi pertubuhan belia dan UMNO, Bagaimana TYT Tun Seri Setia\u00a0 berada dalam arena politik dan pentadbiran di Melaka sehingga akhirnya dilantik sebagai TYT Negeri Melaka?\u201c\n\u201cJika anda ada persolan tersebut, maka buku ini adalah untuk anda. Semua ini wajar diketengahkan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat selain memberi inspirasi berguna kepada golongan belia dan anak muda dalam meneruskan proses kehidupan di dunia ini,\u201d katanya." "Pemangku Raja Perlis Memeriahkan Sambutan Perayaan Duan Wu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Sambutan Perayaan Duan Wu yang berlangsung di Fairy Le Phenomenal, Kangar anjuran Bahagian Wanita, Dewan Perhimpunan Cina Negeri Perlis pada malam semalam. Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengerusinya, Dr. Tan Fee Yean.\nMenurut Dr. Tan, Perayaan Duan Wu merupakan antara perayaan tradisional yang penting disambut oleh masyarakat Tionghua dan Asia Timur. Perayaan tersebut dirai pada Hari kelima, bulan kelima dalam kalendar Lunar Cina, maka perayaan ini adalah lebih biasa dikenali sebagai Duan Wu Jie atau Shuang Wu Jie.\nSecara tradisinya, perayaan ini akan disambut dengan menganyam, memasak, dan memakan \u201cZongzi\u201c serta dirai dengan aktiviti perlumbaan perahu naga.\nDr. Tan dalam ucapannya juga berkongsi bahawa \u201cZongzi\u201c merupakan sejenis makanan yang menggunakan daun buluh untuk membalut beras pulut ke dalam bentuk piramid. \u201cZongzi\u201c juga boleh disediakan dengan pelbagai bentuk dan jenis.\n\u201cPerlumbaan perahu naga merupakan satu daripada aktiviti pada perayaan ini yang melambangkan kekuatan, keteguhan dan kesatuan. Pertandingan ini juga telah menjadi salah satu aktiviti sukan air di peringkat antarabangsa yang disertai oleh pelbagai bangsa dan kaum\u201d, tambah beliau lagi.\nTuanku Pemangku Raja dan Tuanku Raja Puan Muda berdua turut berkenan menyertai aktiviti menganyam Zongzi dengan bimbingan Dr. Tan dan menjadi pengadil untuk pertandingan meniup perahu naga yang disertai oleh para tetamu yang hadir." "Malam Sekalung Seni DBP 2023 Cungkil Bakat Seni Karyawan DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sambutan ulang tahun penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-67 dimeriahkan dengan acara Malam Sekalung Seni DBP 2023 yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir pada malam semalam.\nMalam Sekalung Seni yang kali terakhir diadakan pada tahun 2010 bertujuan untuk menghargai serta mencungkil bakat seni selain mengeratkan hubungan dalam kalangan karyawan DBP. Acara ini juga bermatlamat untuk membina dan menggilap bakat terpendam terutamanya dalam kalangan karyawan muda dan baharu demi melahirkan generasi seni pelapis yang akan mewarnai dunia seni DBP dan juga tanah air pada masa hadapan. Seniman hebat seperti Sabri Yunus dan Imuda merupakan antara bintang seni tanah air yang pernah menyertai acara Malam Sekalung Seni DBP.\nPara karyawan yang menyertai Malam Sekalung Seni DBP 2023 rata-ratanya menyatakan bahawa mereka bukan sekadar mahu mengejar habuan kemenangan, tetapi yang lebih penting ialah kepuasan beraksi mempersembahkan bakat seni yang \u201cmembuak-buak\u201d dalam diri masing-masing.\nLebih menarik lagi, acara ini turut melibatkan karyawan dari DBP Cawangan Sabah dan DBP Cawangan Sarawak. Sebanyak 16 orang karyawan bersaing dalam kategori \u201cLagu Irama Retro\u201d dan lima kumpulan teater pula bersaing dalam kategori \u201cTeater Muzikal 10 minit\u201d.\nMohamad Aieriz Makhtar dari Bahagian Keselamatan yang membawakan lagu Cek Mek Molek dendangan asal Datuk M. Daud Kilau muncul sebagai juara bagi kategori \u201cLagu Irama Retro\u201d, manakala naib juara dimenangi oleh Abd. Kadir Mohd. Ayub dari Bahagian Majalah yang membawakan lagu Jatuh Cinta dendangan Broery Marantika. Ja\u2019afar Hamdan dari DBP Cawangan Sarawak yang membawakan lagu Tiara pula menduduki tempat ketiga.\nTiga hadiah sagu hati bagi kategori yang sama diberikan kepada Norhasmanalinda binti Mustapa dari Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Mohamad Faizal bin Jamil dari DBP Cawangan Sarawak dan Idzham Mispan dari Bahagian Multimedia.\nKumpulan Sri Nopeng dari DBP Cawangan Sarawak pulang dengan bergaya apabila dinobatkan sebagai juara bagi kategori \u201cTeater Muzikal 10 minit\u201d dengan persembahan mereka yang berjudul Bahasa Jiwa Bangsa. Kumpulan Multikreatif dari Bahagian Multimedia memenangi tempat kedua dengan persembahan mereka yang berjudul Sazali Si Tanggang. Tempat ketiga pula dimenangi oleh kumpulan Teja Kasturi dari Bahagian Pentadbiran Am dengan persembahan yang berjudul Pendekar Bujang Lapok.\nDua hadiah sagu hati bagi kategori yang sama diberikan kepada kumpulan Akrab dari Bahagian Keselamatan dengan persembahan yang berjudul Tiga Abdul dan kepada kumpulan Bayu dari DBP Cawangan Sabah dengan persembahan yang berjudul Kisah dalam Kisah.\nSementara itu, Muhamad Hilmi Isa yang mengarahkan teater Bahasa Jiwa Bangsa dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik bagi kategori \u201cTeater Muzikal 10 minit\u201d. Nazrul J.Izzat Yaackob dan Amirah Basyirah dari kumpulan Multikreatif muncul sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik.\nTurut hadir memeriahkan acara Malam Sekalung Seni DBP 2023 ialah YBrs. Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP dan YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Penerbitan, DBP." "ACS Production Juara Pertandingan Teater Pendek 10 Minit\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kumpulan ACS Production telah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Teater Pendek 10 Minit yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada malam tadi.\nKemenangan tersebut membolehkan Kumpulan ACS Production yang mempertaruhkan teater bertajuk Bahasa Terindah dengan skrip yang ditulis oleh Nur Fieanna Natasha Rafizi (Natasha Rafizi) dan Muhammad Fattah Fawzy A. Rahman (Fattah Fawzy) serta diarahkan oleh Nur Azizi Nazril Abdul Aziz (Azizi Nazril) berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM4000 berserta dengan trofi.\nNaib juara pula dimenangi oleh Kumpulan N-Progonist dengan teaternya yang bertajuk Bukan Melukut di Tepi Gantang hasil penulisan skrip oleh Roziah Adama dan diarahkan oleh Shariful Akma Abdullah (K\u2019Ma Abdullah). Dengan kedudukan di tempat kedua, mereka menerima hadiah wang tunai berjumlah RM3000 berserta dengan trofi.\nSeterusnya, tempat ketiga pula menjadi milik Kumpulan Sedar Ruang yang mempertandingkan teaternya yang bertajuk Teori Sesat Profesor Linguistik, karya Syahrul Fithri Musa (Syahrul Musa) dan diarahkan oleh Mohd Kipli Abdul Rahman (Kipli Rahman) memperoleh hadiah wang tunai berjumlah RM2000 berserta dengan trofi.\nTidak ketinggalan, Kumpulan Unity Production, Kumpulan Bapak-bapak Production dan Kumpulan Teaterraum menerima sagu hati dengan masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM1500 berserta dengan trofi.\nPertandingan teater yang bertemakan \u201cBahasa Jiwa Bangsa\u201d ini dinilai oleh tiga orang juri yang berpengalaman dalam bidang teater, iaitu Pensyarah Kanan di Fakulti Seni Kreatif, Universiti Malaya, Dr. Rosdeen Suboh; Penasihat Badan Budaya DBP, Encik A. Wahab Hamzah; dan penerima S.E.A. Write Award (Malaysia) pada tahun 2001, Encik Zakaria Ariffin.\nSementara itu, Hadiah Pengarah Terbaik bagi Pertandingan Teater Pendek 10 Minit tersebut dimenangi oleh Shariful Akma Abdullah, manakala Hadiah Pelakon Terbaik pertandingan berkenaan menjadi milik Mohd Fahmi Mohd Zamari yang masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM700 berserta dengan trofi.\nPertandingan Teater Pendek 10 Minit merupakan satu daripada acara yang diadakan di DBP bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-67 DBP.\nPertandingan teater yang bertemakan \u201cBahasa Jiwa Bangsa\u201d ini menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dan skrip yang digunakan ketika berteater belum diterbitkan atau dipentaskan oleh mana-mana pihak sebelum keputusan diumumkan.\nDaripada 63 naskhah skrip teater yang dihantar kepada penganjur, hanya enam naskhah skrip teater terbaik yang berjaya melepasi saringan oleh panel penilai pertandingan tersebut.\nTurut hadir dalam program tersebut ialah Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa, ketua-ketua bahagian DBP dan tetamu undangan.\nKredit gambar: Khairul Azhar Baharuddin" "Kehadiran Pelajar OKU Penglihatan dalam Pertandingan Teater Pendek 10 Minit Tarik Perhatian Ramai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pertandingan Teater Pendek 10 Minit anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-67 DBP telah berlangsung dengan jayanya pada malam tadi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.\nDalam program ini, kehadiran kumpulan pelajar orang kurang upaya (OKU) penglihatan sebagai penonton telah menarik perhatian orang ramai.\nMenurut Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas Setapak, Puan Zaidah Mahadi, meskipun berdepan dengan kekangan pancaindera, kumpulan pelajar ini turut terlibat dalam persembahan teater menerusi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif, khususnya bagi pelajar yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).\nPelajar biasanya akan sangat berminat dan bersungguh-sungguh serta berbakat dalam setiap latihan atau projek teater. Hal ini dikatakan demikian kerana sekiranya hanya latihan mendengar sahaja dilakukan dalam aktiviti pembelajaran, mereka belum cukup menghayati mesej yang ingin disampaikan. Namun begitu, menerusi aktiviti teater, pelajar akan dapat menjiwai pengajaran dan pembelajaran yang lebih bermakna.\nMenurut beliau lagi, kumpulan pelajar OKU penglihatan yang hadir pada malam ini berasa sangat gembira kerana mereka berpeluang menonton teater dari jarak dekat.\n\u201cSaya berterima kasih kepada DBP kerana menyediakan tempat yang berhampiran dengan pentas utama. Dalam kalangan mereka ini, ada pelajar yang hanya boleh mendengar dan sebahagiannya boleh melihat dengan penglihatan yang amat terhad,\u201d kongsinya.\n\u201cPeluang menonton teater seperti ini akan menimbulkan rasa cinta dan kesungguhan pelajar istimewa ini kepada bidang teater. Selain meningkatkan keyakinan diri, mereka juga boleh mengasah bakat dalam bidang seni yang lain,\u201d ujarnya lagi.\nPuan Zaidah Mahadi juga amat menyokong usaha DBP dalam mempergiat program teater dan kesenian seumpama ini selain berharap agar pelajar OKU penglihatan juga akan memperoleh peluang untuk mencuba bakat mereka dalam pertandingan anjuran DBP.\n\u201cSelain persembahan teater, alumni SMK Pendidikan Khas Setapak juga berbakat dan menempa nama dalam bidang muzik dan nyanyian,\u201d katanya." "Kemenjadian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nBaru-baru ini, saya menemukan penggunaan kata \u201ckemenjadian\u201d yang digunakan oleh agensi kerajaan. Setelah melakukan rujukan, saya dapati bahawa kata tersebut tidak tersenarai dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Oleh hal demikian, bolehkah kata tersebut digunakan? Apakah maksud yang didukungnya?\n\u00a0\nDaripada:\nFatin Nabilah Nazri,\nPetaling Jaya." "Karnival dan Pameran Hari Pelaut 2023 Tonjolkan Kemajuan Industri Maritim Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Jabatan Laut Malaysia dan Kementerian Pengangkutan Malaysia telah menganjurkan Karnival dan Pameran Hari Pelaut yang juga dikenali sebagai Seafarer Carnival 2023. \u00c2\u00a0Acara ini julung kali diadakan di Marina, Putrajaya pada 23 hingga 24 Jun 2023.\nKarnival yang dirasmikan oleh YAB Anthony Loke Siew Foo, Menteri Pengangkutan Malaysia ini menyaksikan pelancaran Day of the Seafarer (DOTS), yang akan berlangsung sehingga 20 Jun 2023 dengan pelbagai aktiviti menarik yang telah disusun oleh penganjur termasuk pertandingan video pelaut.\nSelain itu, karnival ini juga menyaksikan pelancaran kad pengenalan digital pelaut atau Digital Blockchain Seafarer ID, penganugerahan sijil kompetensi pelaut, Anugerah Khas NUSPM, (TBC), MASA Seafarers\u2019 Welfare Aid (TBC), IKMAL Seafarers\u2019 Education Aid (TBC), pengumuman pemenang acara videografi DOTS, Anugerah Keberanian Pelaut, dan Anugerah Ikon Pelaut Kebangsaan DOTS \u201923.\nKarnival bertemakan maritim ini disertai oleh pelbagai agensi yang menyajikan maklumat berkenaan pengurusan maritim, keselamatan, teknologi maritim, sukan air, peluang pendidikan maritim dan pelbagai demonstrasi kepada pengunjung.\nAntara agensi yang terlibat termasuklah agensi dari sektor kerajaan seperti Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Pengangkutan Malaysia, Polis Marin, Polis Diraja Malaysia, pengendali pelabuhan seperti Penang Port dan pelbagai agensi swasta yang merupakan pemain utama dalam sektor maritim di Malaysia.\nKarnival ini juga memberi fokus kepada aspek pendidikan dalam bidang maritim dengan kehadiran pelbagai institusi pendidikan awam mahupun swasta yang menyediakan maklumat berkaitan peluang pendidikan dalam bidang maritim seperti Politeknik Ungku Omar, Kolej Komuniti dan Netherlands Maritime University College.\nKarnival Pelaut dan Pameran Hari Pelaut 2023 merupakan suatu peluang yang sangat berharga untuk orang awam mendekati, memahami serta menerokai peluang bidang pendidikan, pekerjaan maritim, serta peluang berkolaborasi dalam aspek inovasi dan perniagaan maritim.\nLokasi Marina Putrajaya yang strategik dengan keindahan tasik Putrajaya sebagai tapak pameran dapat memberikan gambaran lebih dekat kepada pengunjung tentang industri maritim di Malaysia melalui pelbagai demonstrasi menarik.\nAntara demonstrasi menarik yang diadakan ialah perlumbaan bot penyelamat, tarik-tali bot, pencarian harta karun, pertandingan mewarna kanak-kanak, demonstrasi tali dan ikatan maritim serta peluang mencuba simulator mengemudi kapal.\nKarnival ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran ratusan peserta dari PALAPES Angkatan Laut Universiti Pertahanan Malaysia yang lengkap berunifom. Turut diadakan juga seminar karier maritim untuk memberi maklumat lebih lanjut mengenai laluan karier bagi mereka yang berminat menceburi bidang maritim." "Perlis dan Ethiopia Sepakat Jalin Kerjasama Bidang Pelancongan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Landskap Perlis merupakan anugerah yang tidak ternilai dikurniakan oleh Allah SWT. Kelebihan ini menjadikan Perlis sebuah negeri yang mempunyai tarikan semula jadinya yang tersendiri. Kelebihan ini juga memberikan peluang kepada negeri ini untuk memperkasakan sektor pelancongan.\nSektor pelancongan mampu berfungsi sebagai agen perubahan terhadap ekonomi, alam sekitar dan sosial negeri ini. Sektor pelancongan yang berkembang pesat dapat mewujudkan pusat-pusat pertumbuhan baharu, menjanakan peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada rakyat khususnya masyarakat setempat.\nDemikian titah Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut siaran media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika Baginda berkenan berangkat melancarkan Promosi Masakan Perlis di Chillies Addis Hotel & Restaurant, Addis Ababa, Ethiopia baru-baru ini.\nBerangkat sama ke program yang dianjurkan oleh MAIPs, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan restoran makanan India tersebut bersempena dengan Program Safar Ilmi MAIPs ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.\nBaginda berdua berkenan menyerahkan plak simbolik pelancaran kepada pengurus besar restoran berkenaan, Pradeepan Pachiriyan.\nMenu khas yang diperkenalkan pada kali ini untuk disajikan selama dua minggu dalam menu restoran tersebut ialah \u201cKurma Daging Perlis\u201d. Menurut Tuanku Pemangku Raja, citarasa masyarakat setempat amat berbeza daripada Malaysia, oleh itu, \u201cKurma\u201d yang mempunyai persamaan yang banyak dengan makanan India yang lebih dikenali yang dipilih untuk tujuan memperkenalkan negeri Perlis di sana pada kali ini.\nPada majlis berkenaan, Baginda bertitah walaupun jarak yang jauh untuk pelancong dari Ethiopia datang ke Perlis, Baginda memperkenalkan negeri ini, khususnya kepada golongan pelajar untuk melanjutkan pelajaran di beberapa buah institusi pengajian tinggi yang ada di negeri Perlis seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bernaung di bawah MAIPs.\nTerdapat banyak perbezaan dan juga persamaan antara\u00a0 adat, budaya, dan lanskap antara Ethiopia dengan Perlis. Pada tahun 2022, sebanyak 2.7 juta orang pelancong telah direkodkan datang ke negeri Perlis." "40 Pelajar IPTA Sertai Program Pemantapan Pantun Dondang Sayang Peringkat Kebangsaan 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDuyong \u2013 Sebanyak 40 orang pelajar dari lima buah universiti awam di negara ini telah menyertai Program Pemantapan Pantun Dondang Sayang Peringkat Kebangsaan 2023, baru-baru ini.\nProgram yang diadakan di Balai Adat, Perkampungan Hang Tuah, di sini merupakan anjuran Kelab Kasawari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersama Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) dan Institut Warisan Melaka (INSWA).\nMenurut Pengarah Program, Datin Wira Rosmiza Mohd Saad, 40 orang peserta yang terlibat dalam program itu merupakan pelajar berbilang kaum dari Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan UTeM selaku tuan rumah.\nBeliau berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar universiti terhadap warisan seni dondang sayang yang sinonim dengan Negeri Melaka.\nRosmiza yang juga Pegawai Kebudayaan (Unit Tarian) Bahagian Kebudayaan dan Muzik Hal Ehwal Pelajar dan Alumi (HEPA) UTeM berkata, bengkel itu juga memberi pendedahan dalam mengukuh, memelihara serta meneruskan kesinambungan seni warisan dondang sayang.\n\u201cIni kerana dondang sayang telah menerima pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kategori warisan kebudayaan tidak ketara (intangible cultural heritage).\n\u201cPenganjuran bengkel ini berupaya memperjuangkan seni budaya dan warisan Dondang Sayang agar tidak pupus di minda generasi muda dan seterusnya berkembang serta dihormati di seluruh dunia,\u201c katanya.\nAcara penutup program tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun Duyong) merangkap Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Mohd Noor Helmy Abdul Halem.\nYang turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor, HEPA UTeM Profesor Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif; Pengerusi MAKUM Prof. Dr. Arifin Abdu; Pengurus Besar INSWA Abdul Malek Bador; sekretariat MAKUM dan pegawai pengiring universiti." "Ukiran Kayu Nisan: Warisan Unik Etnik Jatti Miriek\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nEtnik Jatti Miriek mungkin satu daripada 12 kumpulan etnik yang kini secara rasmi diiktiraf sebagai peribumi Sarawak. Hal ini susulan pindaan baharu Rang Undang-Undang negeri membabitkan tafsiran semula peribumi Sarawak diluluskan Sidang Dewan Undangan Negeri, Februari lalu.\nNamun, etnik Jatti Miriek sebenarnya sudah bertapak lama di sana malah mewarisi keunikan dan sejarah kebudayaan yang sangat unik. Satu daripadanya ialah penggunaan kayu sebagai batu nisan.\nUmumnya batu nisan yang ditemui di alam Melayu ialah jenis batu Aceh namun di Miri khususnya dalam kalangan etnik Jatti Miriek menggunakan kayu belian sebagai batu nisan.\nKeunikan ini disingkap oleh penyelidik yang juga Timbalan Dekan, Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),\u00a0 Profesor Madya Dr. Yakup Mohd Rafee.\nKongsi Yakup, selain diperbuat daripada kayu belian keunikan kayu nisan etnik Jatti Miriek kerana berukir dengan motif flora dan fauna.\nPemilihan kayu belian jelas beliau boleh difahami kerana sifatnya yang keras dan tahan lama, namun teknik dan seni ukiran yang diukir memperlihatkan pengaruh Islam yang sangat ketara.\n\u201cDari segi simbolisme dan makna, motif flora dan geometrik memberi maksud simbolik dalam konteks agama dan budaya yang dianuti etnik itu.\nKayu nisan itu juga menjadi sebahagian sejarah estetika dan identiti budaya kerana keunikan seni ukirannya yang membezakannya dengan batu nisan biasa ditemui di alam Melayu,\u201c katanya.\nYakup berkata, hasil kajiannya mendapati terdapat 250 corak berasaskan flora digunakan sebagai ukiran kayu nisan. Jumlah itu memperlihatkan seolah-olah setiap individu mempunyai coraknya yang tersendiri.\nTegasnya, penggunaan kayu belian berbanding batu Aceh mudah difahami berasaskan ketersediaan bahan. Kawasan hutan di Kepulauan Borneo kaya dengan kepelbagaian jenis kayu. Kayu belian yang keras dan tahan lama menjadi faktor kayu tersebut menjadi pilihan.\nKayu belian juga kata Yakup lebih fleksibel dalam reka bentuk dan ukiran. Kelebihan itu membolehkan kayu tersebut diukir meskipun coraknya rumit. Hal ini tentu tidak mampu dilakukan pada batu granit apatah lagi batu granit berkualiti mungkin membabitkan kos.\n\u201cKayu nisan etnik Jatti Miriek ini ialah bahagian yang penting dan warisan budaya komuniti itu. Warisan ini bukan sekadar mempunyai nilai sejarah dan estetika yang tinggi tetapi cerminan identiti budaya.\nSejarah Jatti Miriek itu sendiri sangat unik kerana dikatakan nama bandar Miri itu sendiri diambil bersempena dengan nama komuniti itu yang berasal dari kawasan sekitar tebing muara Sungai Miriek.\n\u201cNenek moyang komuniti ini dipercayai datang dari Apo Kayan, Kalimantan ratusan tahun lalu ke Miri,\u201d katanya.\nKata Yakub, penghijrahan dari Apo Kayan itu berlaku disebabkan peperangan dan konflik berpanjangan di tanah asal. Pada peringkat awal, Jatti Miriek berhijrah ke Baram dan meneroka kawasan di situ.\nKomuniti ini juga memainkan peranan penting dalam membuka Miri. Melalui usaha itu, mereka menemui potensi yang belum digunakan dalam cabang sungai, tanah subur, dan sumber daya alam di kawasan tersebut.\nSelain sumbangan mereka kepada pembangunan ekonomi kawasan, orang Miriek mengalami transformasi agama yang mendalam,\u201d katanya.\nTegas Yakup, sebelum ini Jatti Miriek selalu dianggap sebagai orang Melayu kerana beragama Islam. Justeru hal ini menjelaskan punca mereka lambat diiktiraf sebagai salah satu kaum peribumi Sarawak.\nPada peringkat awal, Jatti Miriek tidak memiliki agama atau mempercayai animisme dan pagan. Namun mereka kemudiannya memeluk Islam dan menjadi salah satu kumpulan etnik terawal memeluk Islam.\nTransformasi inilah kemudiannya membentuk amalan budaya, nilai, dan struktur sosial mereka, dan unsur-unsur tersebut masih menjadi aspek yang menentukan identiti mereka.\n\u201cSeperti kebanyakan peribumi lain, Jatti Miriek memiliki bahasa sendiri yang jauh berbeza dengan bahasa Melayu atau dialek Sarawak. Bahasa yang dikenali sebagai Tuttot Miriek itu tergolong dalam dialek Dalik di Baram.\n\u201cOrang Miriek bertutur dalam bahasa yang serupa dengan Orang Bakong, Orang Narum dan Orang Belait.\n\u201cSebilangan kecil kumpulan dialek ini juga ditemui di kawasan Sibuti. Terdapat 11 suku Miriek yang mempunyai pertalian rapat dari segi bahasa dengan Miriek iaitu Bahong, Berawan, Kiput, Narum, Lementing, Dalik, Belait, Tutong, Bahut, Jepak dan Meting,\u201d katanya" "Headhunter Melestarikan Tradisi Kepahlawanan dan Setia Kawan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Memang sukar menghidupkan semula tradisi, adat atau kepercayaan yang pernah wujud dalam sejarah peradaban manusia ke skrin layar, tetapi \u201csuasana\u201d tersebut dapat dilakukan meskipun dihasilkan dalam bentuk fiksyen dengan pengetahuan yang dimiliki dan kajian mendalam.\nHal tersebut boleh disaksikan dengan menonton sebuah filem berjudul Headhunter, edaran MyContent Distribution menerusi platform Prime Video, bermula 29 Jun 2023 yang lalu.\nWalaupun Headhunter bermaksud pemburu kepala, tetapi filem ini bukan sebuah kisah keganasan semata-mata. Filem ini memaparkan adat tradisi suku kaum Iban di Sarawak sejak berabad-abad lalu, selain lambang kepahlawanan apabila pemburu kepala membawa pulang kepala selepas misi serangan yang dikenali sebagai ngayau.\nMengambil latar kurun ke-18, Headhunter yang ditulis, diarahkan dan diterbitkan sendiri oleh Badd Badrul, mengetengahkan kombinasi antara fakta tentang adat tradisi dengan fiksyen yang dibentuk menjadi hiburan, sekali gus pengetahuan baharu untuk generasi masa kini.\n\u201cHeadhunter juga sebuah naskhah yang bersifat mendidik dan berkongsi ilmu tentang adat, budaya atau tradisi yang cukup kaya di Malaysia amnya, dan di Borneo khususnya,\u201d ujar Badd.\nPahlawan Iban sejati, tambah beliau, bukan sahaja yang memenggal kepala, tetapi yang sanggup kepalanya dipenggal.\n\u201cIni merupakan \u201ckata kunci\u201d untuk filem Headhunter. \u00a0Headhunter tidak hanya bergantung pada latar belakang tradisi pemburu kepala itu semata-mata, tetapi dipenuhi pengembaraan, aksi lasak, suspens, dan pembalasan yang diselitkan dengan kisah asmara, dan setia kawan yang sangat tinggi,\u201d tegasnya.\nBadd menghasilkan Headhunter dalam bentuk fiksyen, tetapi apa yang ingin disampaikan di sebaliknya ialah sejarah atau adat tradisi yang telah sebati dalam \u201cdunia\u201d masyarakat Iban. Badd amat berharap pengisian dalam Headhunter tentang\u00a0 budaya serta adat tradisi kaum terdahulu dapat ditonton, sekali gus dikenali dan difahami generasi masa ini.\n\u201cPihak kami juga mendapat kerjasama Persatuan Transformasi Dayak (TRADA). Kami berterima kasih kepada Joseph Ninting Janting selaku presiden persatuan, dan jurulatih linguistik mereka, Richard Mathias,\u201d ujar Badd.\nHeadhunter membawa kisah empat orang sahabat baik yang membesar bersama-sama sejak kecil, iaitu Anang, Lebor, Untai dan Siah. Mereka melalui pahit manis kehidupan seharian bersama-sama.\nWalau bagaimanapun, Anang menempuh jalan hidup yang kurang menyenangkan. Bapanya mati dibunuh dengan kepalanya dipancung oleh musuh bernama Sapik. Sejak itu Anang berikrar untuk membalas dendam kematian bapanya.\nMasa berlalu, dan mereka beranjak dewasa. Anang dan Lebor telah dipanggil oleh Tuai rumah, iaitu ketua rumah panjang bersama remaja yang lain untuk melakukan ekspedisi ngayau, sebagai salah satu syarat menjadi pahlawan Iban. Mereka akan bergelar pahlawan Iban selepas berjaya mendapatkan kepala, kemudian diberi gelaran Bujang Berani.\nSapik masih dengan sikap jahat, dan mengupah lanun untuk menyerang kaum Iban sehingga ramai yang terkorban. \u00a0Dia juga sempat mengugut untuk membunuh Untai. Pada suatu hari, Anang menemui bungkusan yang sebenarnya berisi kepala Untai.\nWatak utama, Anang dipegang oleh Anding Indrawani. Ebi Kornelis pula sebagai Sapik, iaitu antagonis atau musuh utama protagonis. Anak pelukis Ismail Embong, Chacha Maembong pula sebagai wirawati. Headhunter juga menampilkan lakonan sulung Ahya Rosli, dan Zulaika Zahari.\nMenyentuh pencapaian, Headhunter menerima Anugerah Khas Juri Festival Filem Malaysia yang ke-31 (FFM31), manakala Anding memenangi kategori Pelakon Harapan FFM31." "Wesley Methodist School Kuala Lumpur Sambut Hari Perpaduan dengan Semangat Malaysia MADANI\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Wesley Methodist School Kuala Lumpur (International) telah menjayakan sambutan Hari Perpaduan 2023 bertempat di Wesley Hall, Wesley Methodist School Kuala Lumpur pada pagi tadi.\nTujuan sambutan ini diadakan adalah untuk menyemai rasa cinta akan negara serta memupuk nilai perpaduan dalam kalangan pelajar sebagai warganegara yang terdiri daripada pelbagai etnik, agama dan budaya.\nMajlis sambutan Hari Perpaduan tersebut diraikan dengan perkongsian pengalaman, ucapan serta deklamasi puisi oleh tetamu-tetamu kehormat berkenaan dengan perpaduan dan kehidupan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.\nDalam majlis tersebut, tetamu kehormat, YB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan, dalam ucapannya menyatakan bahawa tiada halangan dalam memupuk semangat perpaduan khususnya dalam kalangan generasi muda melalui pelaksanaan dasar-dasar negara yang jelas seperti dasar pendidikan kebangsaan, dasar bahasa kebangsaan dan dasar perpaduan negara.\nBerdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya semasa bertugas di\u00a0 China, kekuatan pelaksanaan dasar negara di negara tersebut seperti dasar pendidikan kebangsaan dan dasar bahasa kebangsaan sangat membantu dan menjadi asas perpaduan kebangsaan yang akhirnya membuahkan hasil apabila China muncul sebagai kuasa ekonomi dunia.\nYB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan turut mengulas tentang peranan dan etika generasi muda dalam menggunakan media sosial untuk memupuk nilai perpaduan.\nTidak dapat dinafikan keberkesanan dan kepentingan media sosial, generasi muda haruslah menggunakan media sosial dengan positif serta mengamalkan kesantunan berbahasa dalam usaha untuk memupuk nilai perpaduan.\nMenurut Pengetua Wesley Methodist School Kuala Lumpur, Encik Wong Chee Kheon, selaras dengan konsep\u00a0 Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan, beliau menyeru warga sekolah agar menyambut hasrat kerajaan tersebut dengan meneroka cara yang terbaik untuk memainkan peranan sebagai Duta MADANI Perpaduan dalam mempromosikan nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat.\n\u201cSebagai duta, pastinya warga Sekolah Wesley Methodist Kuala Lumpur mampu mewakili kerajaan untuk mempamerkan konsep MADANI yang tepat, terutamanya yang berkaitan dengan aspek keperibadian dan akhlak terpuji kerana Sekolah Wesley Methodist Kuala Lumpur ialah \u2018Sekolah Character First\u2019.\u201d\nSambutan tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan dikir barat, nyanyian, angklung, pidato, bicara berirama serta tarian perpaduan, iaitu tarian tradisional Melayu, Cina, India, tarian masyarakat Sabah dan Sarawak oleh pelajar serta penari yang diundang khas dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.\nYang turut hadir dalam acara tersebut ialah Tan Sri Johan Jaaffar, Tan Sri Syed Hamid Albar dan Datuk Seri Wong Chun Wai.\nFoto: Farid DBP" "Penerbangan Malaysia Promosi Pelancongan Perlis di Dalam Pesawat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMedan \u2013 Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan ucapan penghargaan kepada Penerbangan Malaysia (MH) yang telah memuatkan artikel serta gambar mengenai destinasi pelancongan yang menarik di negeri Perlis dalam majalah rasmi di dalam pesawatnya \u201cGoing Places\u201d bagi bulan Julai 2023 ini.\nMajalah ini ditempatkan di dalam setiap poket tempat duduk penumpang di dalam pesawat MH untuk penerbangan domestik dan antarabangsa.\nLaporan tersebut menampilkan serta meraikan pelbagai info mengenai budaya, warisan, masakan dan juga landskap semula jadi tempat-tempat yang menarik di negeri Perlis. Antaranya termasuklah asal usul Bandar Kangar, keindahan Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai Kuala Perlis, sajian juadah istimewa di restoran seperti Api-Api Ikan Bakar, Ngulang Kopitiam, Ahli Kopi Kangar, selain lokasi popular di Wang Kelian View Point dan Taman Negeri Perlis.\nDemikian dititahkan baginda menurut hebahan media oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis selepas berkenan berangkat melancarkan \u201cPromosi Masakan Perlis\u201d di Kaleo Rendang Bistro Medan, Sumatera Utara, Indonesia baru-baru ini.\nKeberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda, Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah, YAM Sharifah Farah Adriana, dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail disambut oleh pemilik restoran tersebut, Doris Gozali.\n\nPemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil semasa melancarkan \u201cPromosi Masakan Perlis\u201d di Kaleo Rendang Bistro Medan, Sumatera Utara, Indonesia.\u201cKurma Daging Perlis\u201d akan disajikan dalam menu restoran berkenaan selama dua minggu bagi memperkenalkan kembali negeri Perlis sebagai destinasi ekopelancongan, sempadan Malaysia-Thailand, makanan dan juga pendidikan bagi pasaran Sumatera Utara untuk era pasca-Covid-19 khususnya dalam membina momentum persiapan Tahun Melawat Perlis 2024-2025 bermula pada tahun hadapan.\nUsaha tersebut dijayakan pada kali ini atas inisiatif baginda berdua sendiri melalui kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra dengan restoran berkenaan, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), GTK Perlis dan juga BMC Travel.\nMenurut DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra, \u201cWalaupun media sosial kini menjadi medium popular untuk tujuan promosi, namun, penulisan dan fotografi berkualiti dan berimpak dalam sesebuah majalah atau akhbar masih lagi memainkan peranan yang sangat penting dalam mempromosikan lokasi yang menarik serta budaya masyarakat setempat\u201d.\nJelas Pemangku Raja Perlis lagi, \u201cBudaya juga berkait rapat dengan sajian makanan dan juga aktiviti yang hanya terdapat di sesuatu kawasan. Dalam konteks negeri Perlis, melalui penulisan yang menarik dan gambar yang memberikan gambaran sebenar sesuatu destinasi atau sajian makanan juga dapat menarik dan menggalakkan lebih ramai para pelancong untuk datang ke negeri ini untuk menikmati keunikan Perlis serta pengalaman yang hanya akan didapati di negeri ini\u201d.\nTerdahulu, baginda telah merasmikan Promosi Masakan Perlis di Medan di Hotel Soechi pada tahun 2013." "Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI 2021)\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Integrasi Ekonomi Pendigitalan: Tiket Kemajuan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLebih tiga dekad pengalaman dalam dunia politik dan kenegaraan, figura kelahiran Bumi Kenyalang ini telah dipilih sebagai Ahli Parlimen sejak dari tahun 1990 lagi.\u00a0Berbekalkan personaliti tegas, berwawasan dan berpengalaman luas, serta berpandangan jauh, meletakkan tokoh besar ini sebagai seorang daripada menteri kabinet yang kekal relevan dalam pentadbiran kerajaan sehingga kini.\nPada ketika tahun 2021 membuka tirai, sidang editor Dewan Ekonomi (DE) berpeluang mewawancara Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di pejabatnya, di Menara Bank Rakyat, Jalan Brickfield, Kuala Lumpur secara eksklusif. Berusia 75 tahun, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia ini menggalas tugas yang sangat mencabar tatkala beliau dilantik untuk mengemudi koridor ekonomi baharu, khususnya dalam golongan usahawan terjejas ketika seluruh negara bergelut memerangi pandemik COVID-19.\nBagi mengorak langkah dan merealisasikan usaha kerajaan, beliau tekad membantu meningkatkan sumber pendapatan usahawan supaya lebih berdaya saing dan berkebolehan mengelola teknologi sebagai mercu tanda baharu yang bakal menjadi pengukur ekonomi negara dalam Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0). Maka itu, bermulalah perkongsian perjalanan dan pemikiran seorang \u201cbusiness minded\u201d (berorientasikan perniagaan) yang berpengalaman luas dan berlatar belakangkan pendidikan Perniagaan dan Undang-Undang.\nUmum mengetahui fungsi dan matlamat bagi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) sememangnya adalah berbeza dari sudut portfolionya. NRE ialah satu kementerian yang berprinsipkan pada penguatkuasaan, sama seperti Kementerian Dalam Negeri yang pernah saya tunjangi dahulu, manakala MEDAC pula lebih bersifat pembangunan dan pembinaan terhadap usahawan. Pentadbiran dan pengurusan NRE kini mempunyai agenda yang berbeza daripada sebelumnya selepas Pakatan Harapan mengambil alih pada tahun 2018, yang dibahagikan kepada dua kementerian, iaitu Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).\nSeperkara lagi perbezaan yang dilihat ialah dari sudut ilmiah atau teorinya. Pentadbiran MEDAC kini digubal menjadi lebih terbuka dan tidak terikat pada undang-undang sepenuhnya seperti legasi dahulu. Tujuan utama adalah untuk mengglobalisasikan ekonomi agar tidak terlalu banyak kawalan dalam perniagaan atau pentadbiran, sehingga menyebabkan proses menjadi perlahan, tersekat dan terlalu rumit. Implikasinya, seseorang usahawan itu tidak mampu menjana kekreatifan dan inovasi dalam perniagaan.\nSecara peribadinya, perusahaan perniagaan perlulah mempunyai sedikit kebebasan. Kebebasan ini bukan bererti menolak atau memberontak pada perundangan yang telah termaktub, tetapi memudahkan cara untuk membina lebih ramai usahawan berjaya, sejurus meningkatkan ekonomi negara. Inilah yang dilakukan dalam pentadbiran di Amerika Syarikat (AS). Transformasi penggubalan dasar pentadbiran pada tahun 2019\u20132020 digubal semula, khususnya pentadbiran perniagaan yang menggunakan konsep ekonomi perniagaan berlandaskan nyahkawal (deregulation), yakni pengurangan atau penghapusan kuasa pemerintah dalam industri, kebiasaannya berlaku untuk menciptakan lebih banyak persaingan dalam industri agar kekal menjadi negara maju dan pesat.\nKekurangan ini dilihat apabila dalam satu jabatan setiap perkara perlu mengikuti undang-undang, misalnya pembangunan premis berukuran 50 ekar di sesuatu kawasan perlu ada pelbagai dokumen dan proses-proses, seperti pendaftaran, laporan penilaian (Assesment Report), pelan, kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan dan banyak lagi.\nAtas kesedaran akan pembangunan ekonomi negara, perkara ini telah dibawa ke mesyuarat Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di seluruh negara supaya dapat mengurangkan sesuatu undang-undang dalam perniagaan. Dengan anjakan\u00a0 paradigma yang baharu ini, semua proses dipendekkan tanpa menjejaskan perundangan itu, lantas sesuatu perniagaan dapat berjalan dengan lebih lancar dan efektif tanpa membebankan pentadbiran dan usahawan khasnya.\nSebenarnya kebanyakan buku saya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Antaranya, termasuklah Evolusi Parlimen dan Evolusi Speaker Parlimen (2010) dan Falsafah Moral Ilmu Berpengakap (2007) terbitan DBP, dan beberapa buah buku lagi bersama penerbitan lain.\u00a0\nCabaran ini bermula ketika saya diberikan amanah untuk memikul tanggungjawab sebagai Menteri MEDAC pada bulan Mac 2020 tatkala kerajaan bertukar kepada Perikatan Nasional sewaktu pandemik COVID-19 mula menyerang dengan agresifnya di seluruh negara, termasuklah di Malaysia. Ada dua cabaran utama, pertamanya, mencari resolusi pembendungan pergerakan rakyat melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sedangkan mereka perlu bebas untuk meneruskan operasi ekonomi bagi menyara sumber pendapatan harian.\nTernyata, PKP memberikan tekanan besar kepada individu dan ekonomi, walaupun pada dasarnya untuk menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat. Menurut kajian, ekonomi kita terjejas teruk bermula pada April 2020. Oleh sebab itu, kerajaan mula membuat keputusan dalam kabinet untuk membenarkan semula perniagaan dijalankan pada bulan Mei 2020 dengan mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.\nKedua ialah cabaran membangunkan usahawan, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Jumlah kelompok PKS dilihat seperti piramid. Kedudukan yang paling bawah dikenal pasti kebanyakan 80 peratus daripadanya ialah orang Melayu dan Bumiputera, serta kumpulan B40. Kumpulan B40 ini ialah golongan informal yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), seperti \u201cMak Cik Kiah\u201d dan peniaga di pinggir jalan. Dalam hal ini, golongan ini tidak mempunyai pilihan lain selain daripada berniaga kerana memiliki sijil pendidikan yang minimum, dan jika tinggi hanyalah pada tahap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).\nSeterusnya, cabaran yang paling kritikal ialah menukar pemikiran setiap individu bahawa betapa pentingnya bidang keusahawanan dalam pertumbuhan ekonomi negara. Kelemahan ini ditonjolkan apabila \u201cbudaya\u201d kita lebih memilih untuk bekerja dengan orang lain berbanding dengan membuka perniagaan sendiri, seperti bangsa Cina, kerana tidak berani mengambil risiko. Natijahnya, dalam jabatan kerajaan majoritinya diisi oleh orang Melayu sahaja berbanding dengan bangsa lain.\nKebiasaannya perkara ini melibatkan faktor orang Melayu itu sendiri tidak banyak masuk ke bandar, memegang ekonomi, dan banyak bergantung pada bantuan. Kesemua ini bertunjangkan daripada \u201cmotivasi\u201d sesebuah kaum. Kehidupan orang Cina lebih memfokuskan kepada daya tahan hidup (survivability) dan \u201cumbrella concept\u201d seperti yang di bawa daripada pengaruh golongan diaspora. Mereka tiada bantuan khusus dan banyak bergantung kepada kaum sendiri apabila tinggal di negara orang. Oleh sebab itu, semangat perniagaan orang Cina lebih membuakbuak berbanding dengan orang Melayu, India dan kaum lain-lain, demi menyara kos hidup diri dan keluarga. Walaupun dasar ekonomi dilaksanakan pada tahun 1970 berkaitan dengan peningkatan pembinaan usahawan, namun masih belum ramai usahawan Melayu mahupun India dilihat. Hal ini dikatakan demikian kerana sasaran kerjaya mereka lebih tertumpu dalam bidang profesional seperti kedoktoran, kejuruteraan, perakaunan dan peguam.\nHal ini bukan suatu perkara yang mudah kerana MEDAC fungsinya untuk membangunkan usahawan dalam meningkatkan jumlah penglibatannya. Kita tidak mahu hanya kumpulan B40 terlibat dalam keusahawanan, tetapi yang paling penting golongan yang berupaya menonjolkan lepasan graduan universiti atau mana-mana institusi pengajian tinggi. Sasaran nilai tambah MEDAC tertumpu kepada mereka yang mempunyai pendidikan tinggi agar mewujudkan kualiti usahawan yang lebih berdaya saing dengan adanya latar belakang pendidikan tinggi.\nDalam konteks ini, kita tidaklah mengetepikan mahupun mengabaikan golongan B40 atas sebab tiada pendidikan tinggi, tetapi golongan tersebut perlu menjadikan kekurangan itu sebagai pembakar semangat untuk terus meningkatkan industri PKS pada tahap yang lebih maju. Misalnya, Bill Gates yang tidak mempunyai pengajian tinggi mampu mempengaruhi perniagaan seterusnya seluruh dunia dengan membina perisian Microsoft lalu tergolong sebagai seorang daripada usahawan terkaya di dunia, walaupun pernah gagal dalam perniagaannya. Beliau sesuai dijadikan tokoh inspirasi dalam perniagaan yang tidak mudah menyerah dengan cabaran dan liku-liku kehidupan.\nOleh yang demikian, mereka perlu belajar mengikuti budaya pemikiran orang Cina dalam perniagaan, yang berpendapat bahawa perniagaan ialah nilai tambah kehidupan untuk sentiasa ke hadapan, lebih-lebih lagi ketika dunia dilanda pandemik COVID-19. Hal ini merupakan satu lonjakan terbaik untuk membantu diri, keluarga dan masyarakat supaya terus gemilang dan masyhur dalam pasaran tempatan, seterusnya pada peringkat global.\nSeiring dengan IR 4.0, MEDAC tidak berkecuali mencari mekanisme terbaik untuk mengubah nasib dan kaedah perniagaan ke arah yang lebih relevan dan sofistikated selaras dengan arus pemodenan. Terdapat tiga platform utama untuk meningkatkan perniagaan pasaran, antaranya termasuklah perniagaan secara pendigitalan, e-dagang (e-commerce), dan proses automasi (automation proses).\nMenurut penyelidik dan pakar ekonomi, usahawan mampu menjana pendapatan yang berlipat ganda daripada sebelumnya apabila mengaplikasikan pendekatan ini, malah mampu menembusi pasaran luar. Kekuatan platform secara pendigitalan ini sebenarnya memudahkan lagi proses peniaga untuk berhubung, membuat promosi perniagaan dan produk, serta merancakkan persaingan dengan peniaga lain. Mungkin pada peringkat awal penerimaan ini sukar diterima oleh usahawan, khususnya peniaga kecil yang menggunakan perniagaan secara konvensional, dan golongan yang tidak terdedah dengan kemahiran teknologi. Namun begitu, setiap usahawan perlu bijak dan cepat bertindak agar tidak ketinggalan dan sentiasa peka akan perubahan kehidupan kebiasaan baharu.\nLima Kebaikan Perniagaan Secara Pendigitalan\nLatar pendidikan saya yang utama sememangnya berkaitan dengan bidang keusahawanan, maka bersesuaianlah dengan kedudukan saya dalam kabinet. Saya banyak mengetahui selok-belok tentang keusahawanan dan pemikiran usahawan, serta kesannya jika melakukan sesuatu perkara. Prinsip \u201cDriven Leadership to Champions\u201d kebiasaannya digunakan dalam istilah ekonomi perniagaan untuk usahawan yang berjaya. Apabila kesemua ilmu pengetahuan dan teknik keusahawanan didalami, maka saya yakin pertumbuhan sesuatu perniagaan mampu menjadi maju setanding dengan pasaran antarabangsa, walaupun dunia berhadapan dengan pelbagai ancaman seperti pandemik COVID-19.\n\nOleh sebab itu, setiap perniagaan perlu berpaksikan pada mekanisme pendigitalan, e-dagang dan proses automasi, iaitu menukar tenaga manusia kepada bantuan instrumen atau mesin untuk mengoptimumkan kualiti dan kuantiti produk perniagaan. Itulah kekuatan atau rahsia kejayaan sesuatu perniagaan dalam zaman pembangunan teknologi yang serba canggih.\nJawapannya ialah tidak cukup walaupun telah disumbangkan berbilion-bilion. Maka itu, kerajaan melihat langkah yang terbaik ialah mengkaji semula dasar bagi pembiayaan PKS mikro yang merangkumi aspek, seperti menyediakan sokongan latihan dan dorongan untuk membina prestasi usahawan yang mampan ke peringkat global, serta penerapan amalan pengurusan perniagaan dengan lebih mantap.\nMEDAC telah mewujudkan beberapa badan dan agensi tertentu untuk mencapai objektif ini, iaitu Institut Keusahawanan Negara (INSKEN). INSKEN ialah sebuah agensi yang menawarkan inisiatif pembangunan kapasiti usahawan melalui program latihan dan bimbingan. Selain itu, kita turut memastikan program yang dianjurkan adalah berdasarkan keperluan dan permintaan industri dengan kerjasama pengamal industri, profesional dan agensi kerajaan bagi memantapkan lagi ekosistem keusahawanan negara.\nWalau bagaimanapun, pelbagai inovasi diwujudkan di negara terutamanya dari segi bantuan kewangan PKS, seperti e-pinjaman, penggunaan data alternatif untuk menentukan kelayakan kredit, pelaksanaan e-pengilangan dan pembiayaan rantaian bekalan.\nPerkara paling tunjang sekali ialah kesedaran dalam diri setiap usahawan. Baru-baru ini, MEDAC bersama-sama pegawainya membuat lawatan ke tapak kenderaan bersaji (food truck) di Puchong untuk melihat situasi sebenar dan mengkaji kelemahan dan kekuatan dalam usaha mempromosikan produk perniagaan mereka. Terdapat situasi yang menggambarkan kelemahan atau kekurangan perniagaan konvensional untuk menjana pendapatan yang konsisten, apatah lagi pendapatan tambahan. Dalam hal ini, terdapat dua kedai bersebelahan yang menjual makanan. Kedai A mempunyai pelbagai aneka juadah makanan dan dihiasi dengan keunikan tersendiri, manakala Kedai B hanya menjual dua atau tiga jenis makanan. Lebih mengejutkan apabila dilihat Kedai B mempunyai pelanggan yang lebih ramai, bahkan pengedar makanan (seperti GrabFood, FoodPanda) juga menanti pesanan makanan untuk dihantar kepada pelanggan. Hasil dapatan kajian, Kedai A menggunakan konsep konvensional, manakala Kedai B memperoleh kekuatan disebabkan oleh penggunaan platform pendigitalan dan e-dagang bagi mempromosikan produk di pasaran. Tambahan lagi, Kedai B dikatakan mampu menembusi pasaran dengan lebih mudah dan cepat melalui pengiklanan dan perkhidmatan perniagaan secara digital.\nOleh hal yang demikikan, MEDAC telah membuka peluang kepada usahawan dengan mewujudkan 5000 terminal warung riders di seluruh Malaysia. Dalam hal ini, warung riders dianggap sebagai penasihat untuk mempromosikan produk di pasaran yang lebih meluas. Namun begitu, timbul pula isu peniaga-peniaga ini tidak mampu untuk membeli terminal, malah beranggapan harga terminal yang bernilai RM500\u2013600 adalah mahal dan satu pembaziran. Bagi mereka, lebih baik wang tersebut dijadikan sebagai modal pusingan perniagaan. Pada hakikatnya, terminal ini sebenarnya dapat membantu pendapatan dan keuntungan yang lebih lumayan, iaitu menjadikan jumlah pendapatan perniagaan mereka mampu mencecah hingga ke RM20 000 atau lebih daripada itu. Secara tidak langsung, status usahawan ini dapat bertukar daripada kelompok B40 kepada M40, iaitu misalnya gaji daripada RM3000 meningkat kepada RM8000.\nKesimpulannya, saya menyarankan usahawan khususnya PKS untuk menukar tahap mentaliti dengan lebih terbuka dan cakna, serta menegaskan kepada pegawai kementerian agar sentiasa peka akan pulangan modal (return of investment) agar setiap peniaga tidak terjejas.\nUsaha murni ini sewajarnya disokong dan diberikan perhatian oleh semua pihak. Alangkah baiknya jika sesetengah mata pelajaran berkaitan dengan keusahawanan dapat diselitkan tentang peri pentingnya keusahawanan untuk menjadi seorang yang berjaya dalam kehidupan. Selain itu, ini merupakan satu pilihan alternatif kepada. pelajar untuk lebih mengenali tentang dunia pekerjaan. Selaras dengan hasrat kerajaan untuk merealisasikan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030), bidang keusahawanan diyakini dapat meningkatkan semangat dan mentaliti rakyat, khususnya orang Melayu dan Bumiputera untuk terus maju dan menjadi contoh ikon terbaik dalam sektor perniagaan.\nPengiktirafan sijil halal ini mempunyai nilai keistimewaan yang besar untuk mendapatkan kepercayaan dan ketelusan kualiti perniagaan. Di Malaysia, perkembangan dan pembangunan pengurusan sijil halal sememangnya sudah jauh maju ke hadapan dan setanding dengan negara lain. Hal ini dibuktikan apabila institusi perbankan Islam, negara kita merupakan antara negara yang terdahulu menjalankan operasi berbanding dengan negara maju seperti Emerald, Kuwait, Bahrain dan banyak lagi.\nNamun begitu, timbul kekecewaan apabila baru-baru ini isu pertikaian tentang status halal pada daging disebabkan oleh beberapa isu kelemahan, termasuklah rasuah dalam organisasi tertentu. Perkara ini tidak wajar berlaku kerana memberikan\u00a0 persepsi atau kepercayaan yang tidak baik kepada pihak luar, khususnya rakyat Malaysia. Oleh hal yang demikian, MEDAC menyediakan perkhidmatan untuk melatih usahawan dan membina kepakaran penasihat berkaitan dengan pengurusan pensijilan halal dalam pentadbiran agar tidak lagi menimbulkan kekeliruan atau salah guna kuasa. MEDAC telah mewujudkan 30 penasihat di TEKUN dan Bank Rakyat. Penasihat ini bukan sekadar menasihati, malah turut membantu dan menjadi penghubung kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) agar memudahkan proses kepada peniaga.\nDalam perkara ini, ada dua sudut yang perlu dilihat, yakni pihak peniaga atau usahawan dan bank. Pada pihak peniaga/usahawan, moratorium ini sangat membantu, terutamanya terhadap pihak yang kekurangan sumber pendapatan. Perlanjutan tempoh yang diamalkan atau dilakukan oleh kerajaan selama enam bulan dapat mengurangkan beban, seperti pembayaran ansuran kepada pihak bank. Dalam hal ini, individu atau usahawan perlulah menggunakan peluang ini melalui saluran yang betul seperti modal ke dalam perniagaan atau pelaburan untuk memulihkan kembali aliran wang keluar masuk. Walau bagaimanapun, bagi golongan yang berkemampuan, saya sarankan agar bayarlah moratorium kerana pada masa akan datang apabila pelanjutan ini tamat, mereka tetap perlu membayar hutang tersebut. Rakyat perlu faham perlanjutan ini hanya bersifat melanjutkan tempoh pembayaran, bukan bermakna terlepas terus daripada membayar hutang. Setiap individu perlu bijak menguruskan kewangan agar sumber pendapatan tidak terjejas apabila ditimpa musibah.\nPada pihak bank pula, misalnya Bank Rakyat. Bank Rakyat dilaporkan kehilangan sumber kewangan hampir 1.4 bilion sepanjang moratorium dilaksanakan. Namun begitu, Bank Rakyat masih memainkan peranan dalam usaha membantu rakyat meskipun pusingan modal terganggu. Sebagai contohnya, dividen yang diisytiharkan bagi tahun 2020 adalah masih tinggi dan berpatutan, walaupun ekonomi negara terjejas akibat pandemik COVID-19. Hasil keuntungan ini mencapai satu bilion. Hal ini bermakna, walaupun moratorium dilaksanakan, bank masih mempunyai pusingan hasil keuntungan untuk membantu rakyat yang terjejas.\nYa, benar. Jika diambil kira sehingga ke hari ini, mungkin lebih daripada jumlah tersebut. Kementerian MEDAC mempunyai ratusan program baharu yang diperkenalkan. Oleh sebab itu, berlaku kekeliruan terhadap kebanyakan orang akan fungsi program bantuan tersebut, seperti siapakah yang layak diterima, bagaimana cara untuk mendapatkan, serta apakah manfaat program bantuan tersebut?\nContohnya, penghantar makanan atau food riders keliru akan tiga peringkat program TEKUN Mobilepreneur untuk mendapat bantuan kewangan. Secara umumnya, TEKUN Mobilepreneur 1.0, menawarkan pembiayaan khas sehingga RM2000 untuk modal pusingan dan baik pulih motorsikal (Interest Free); TEKUN Mobilepreneur 2.0 ialah program yang meliputi pembiayaan maksimum sehingga RM10 000 bagi pembelian motosikal baharu dan modal pusingan; dan TEKUN Mobilepreneur 3.0 pula merupakan kesinambungan Program TEKUN Mobilepreneur 1.0 dan 2.0, iaitu pembiayaan modal kepada usahawan perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal, seperti pembelian motosikal, baik pulih motosikal, pendaftaran terhadap syarikat e-hailing (e-panggilan), dan modal pusingan.\nSeterusnya, aduan tentang inquiry atau lebih difahami dengan siapakah perlu dihubungi untuk mendapatkan jawapan berkaitan dengan program bantuan yang ditawarkan tersebut. Sebagai contoh, bagaimanakah rayuan bantuan tersebut dilakukan?; adakah masih diterima rayuan walaupun tarikh program tersebut sudah ditutup?; dan bagaimanakah untuk mempercepatkan proses permohonan atau pendaftaran? Selain itu, ada juga panggilan berkaitan dengan aduan proses kelulusan dokumen yang dihantar oleh usahawan tidak menerima sebarang maklum balas daripada pihak yang bertanggungjawab. Malah, ada juga aduan berkaitan dengan sesetengah pegawai yang tidak mengetahui garis panduan baharu yang dilaksanakan oleh jabatan sendiri. Implikasinya, berlakulah perselisihan faham akibat perbezaan dalam pendapat atau pandangan.\nWalau bagaimanapun, kerajaan telah melakukan banyak usaha murni demi menyejahterakan rakyat dan negara. Integrasi ekonomi dalam sesebuah negara amat diperlukan untuk kesalinghubungan gerakan yang melangkaui sempadan barangan, perkhidmatan, teknologi dan modal antara pelaburan asing.\nSetiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan yang penting, tidak kira sama ada pihak pengurusan atasan mahupun golongan bawahan. Menerusi IR 4.0, syarikat dan usahawan perlulah mengubah pengurusannya kepada norma baharu yang mengaplikasikan penggunaan teknologi tinggi, iaitu menukarkan secara maksimum perniagaan konvensional kepada perniagaan secara dalam talian.\n10 Gabungan Kemahiran Khusus dan Insaniah yang Diperlukan dalam DKN 2030" "Industri Kreatif: Memacu Budaya Digital yang Ekonomik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nEvolusi dunia seolah-olah mengawal pergerakan manusia. Dunia dilihat semakin pantas bergerak, negara semakin bersaing antara satu sama lain menuntut kemajuan, dan manusia pula berlumba-lumba ingin menjadi jaguh terhebat. Sesiapa yang bijak dan cepat, merekalah yang akan meraih keuntungan. Pada hakikatnya, tidak semua orang mampu melangkah seiring dengan kepesatan industri, lebih-lebih lagi apabila dunia berhadapan dengan krisis pandemik COVID-19.\nBayangkan, impak daripada pandemik COVID-19 ini sahaja mampu mengubah pola kehidupan manusia, malah membantutkan produktiviti ekonomi negara. Meniti hari-hari dengan COVID-19 yang tidak tahu pengakhirannya, banyak tekanan dan keluhan penderitaan daripada banyak pihak seperti golongan B40, M40, orang kurang upaya (OKU), perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuklah penggiat seni tanah air.\nDengan kesempatan dan kepekaan semasa, sidang editor Dewan Ekonomi (DE) memilih untuk mewawancara Dato\u2019 Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia dan Ahli Parlimen Indera Mahkota secara eksklusif. Beliau merupakan figura yang sangat berpengalaman dalam tiga rejim yang berbeza, malah berperanan penting untuk memperjuangkan penggiat dan karyawan seni kreatif tempatan, di samping membantu kelangsungan pendapatan dan kebajikan mereka.\nSedar ataupun tidak sedar, industri kreatif merupakan satu daripada aset penting dalam pertumbuhan ekonomi dan percambahan budaya bagi negara maju yang berpendapatan tinggi. Namun begitu, benarkah persepsi terhadap industri kreatif seperti yang digambarkan itu? Bagi meleraikan persoalan yang timbul, ikuti wawancara yang selanjutnya.\nSebagai langkah awal sebaik-baik sahaja kita berhadapan dengan pandemik, pihak kerajaan telah memperuntukkan beberapa bentuk dana sumbangan bantuan, termasuklah PENJANA, PRIHATIN dan PERMAI, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin bagi membantu golongan yang terjejas ini.\nSeiring dengan usaha kerajaan, KKMM juga turut menyalurkan bantuan bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dan kandungan kreatif dapat dihasilkan oleh penggiat seni melalui Dana Kandungan Digital (DKD), agensi di bawah KKMM sendiri seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). Bagi mencapai matlamat tersebut, FINAS telah memberikan peluang kepada penggiat seni yang rata-ratanya kehilangan pekerjaan ketika pandemik dan sukar menjana pendapatan, untuk berkarya dan mengembangkan bakat mereka melalui program secara dalam talian, dan program ziarah rumah ke rumah penggiat seni/bekas penggiat seni, di samping memastikan industri ini terus bergerak aktif.\nYang menariknya pada mukadimah tahun 2021, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bahagian Pembangunan Kandungan (BPK) telah melancarkan program \u201cNyanyi dari Rumah\u201d dan \u201cMuzik dari Rumah\u201d secara dalam talian di YouTube dan laman web Muzik Malaysia. Dengan penglibatan penggiat seni dalam program ini, secara tidak langsung dapat membantu mereka, terutamanya yang hanya bergantung pada pekerjaan industri kreatif untuk beroleh honorarium sebagai sumber kelangsungan harian.\nDalam hal ini, saya mencadangkan FINAS agar memberikan sebanyak yang mungkin honorarium kepada mereka seperti yang diperuntukkan dalam belanjawan, sebaik-baik sahaja selesai kerja penggambaran. Walau bagaimanapun, pembayaran honorarium itu perlulah berasaskan piawaian dan mengikuti proses yang ditetapkan, seperti melalui Jawatankuasa Penilaian dan Jawatankuasa Pelulus. Hal ini sekurang-kurangnya dapat memberikan sedikit ruang kepada penggiat seni untuk bernafas.\nSehubungan dengan itu, KKMM juga menjalinkan hubungan kerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyediakan 50 buah rumah PPR, iaitu Program Perumahan Rakyat kepada penggiat seni atau mereka yang pernah terlibat dengan industri seni dan kreatif ini. Sebanyak 50 buah rumah PPR, iaitu Program Perumahan Rakyat dibangunkan dan disediakan kepada mereka agar ada tempat untuk berteduh.\nBenar, tidak dinafikan bahawa penggiat seni mempunyai pengaruh yang kuat, malah semua gerak-geri yang dilakukan pasti mendapat perhatian orang ramai. Namun begitu, tidak adil hanya melihat sebahagian penggiat seni itu hidup mewah dan terus melabelkan semua penggiat seni juga hidup dalam kemewahan serta mempunyai simpanan pendapatan yang banyak.\nMenyokong, mengenal pasti dan merancang langkah terbaik merupakan satu kepentingan kerajaan dalam usaha meningkatkan dana industri kreatif, di samping membantu penggiat seni menghasilkan karya kesenian dan kebudayaan, serta menjamin kelangsungan hidup mereka. Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) yang bertunjangkan tiga skop utama, iaitu Multimedia, Seni Budaya dan Warisan Budaya ini berfungsi sebagai pemangkin untuk memenuhi keperluan industri dan menyokong pembangunan dan kemajuan setiap industri di bawahnya.\nTidak dinafikan COVID-19 sangat memberikan kesan kepada semua pihak, termasuklah industri seni kreatif. Pakej PRIHATIN yang diberikan oleh kerajaan sememangnya membantu untuk penggiat seni kembali bergerak aktif, seterusnya menjamin kelangsungan sumber pendapatan mereka.\nBagi saya, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang disalurkan kepada penggiat seni ini sebenarnya menjadi titik permulaan ekonomi pemain industri kembali bangkit meneruskan aktiviti dan perniagaan industri kreatif susulan daripada kesan pandemik COVID-19. Malah, terdapat pelbagai agensi di bawah KKMM, seperti CENDANA di bawah tadbir urus MyCreative Ventures Sdn. Bhd., Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), yang membuka ruang dan peluang kepada kelompok masyarakat yang berbakat untuk menghasilkan berkarya kreatif, sama ada dalam aspek multimedia, seni budaya atau warisan budaya. Selain itu, BPK juga ditubuhkan dalam kementerian ini sebagai satu bahagian yang menentukan hala tuju pembangunan kandungan, serta menjaga bajet industri kreatif secara keseluruhannya, termasuklah muzik.\nSecara umumnya, jumlah yang diperuntukkan oleh kerajaan sudah memadai untuk mereka melunaskan tanggungjawab dalam dunia industri kreatif ini. Selain itu, mereka perlu menggunakan peluang dana ekonomi ini untuk melestarikan ekosistem industri seni dan bekerja dalam kebiasaan baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.\nMutakhir ini, Fauziah Nawi yang lebih dikenali sebagai pengarah dan pelakon Malaysia membuat satu pembaharuan dalam dunia teater daripada sebelumnya, iaitu tayangan pertama teater secara dalam talian yang berjudul, Rasa yang diilhamkan daripada karya Usman Awang, Sasterawan Negara. Hal ini disebabkan oleh dunia teater juga turut menerima tempias dalam kesukaran untuk mencari sumber rezeki apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membatasi operasi rakaman dan pergerakan penggiat seni.\nOleh itu, dengan bantuan KKMM dan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS), pementasan teater ini dapat dilakukan dengan lancar. Walaupun pada hakikatnya, aktiviti pementasan lakonan, rakaman dan penyiarannya dilakukan secara berasingan kerana mengikuti norma baharu yang ditetapkan oleh kerajaan demi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Namun begitu, tayangan teater ini mendapat sambutan dan penerimaan yang menggalakkan apabila ramai yang membeli tiket dan menonton secara maya.\nTernyata, industri kreatif ini sebenarnya boleh keluar dari kepompong dengan jayanya jika berani melakukan perubahan berdasarkan peredaran semasa dan pandai mengambil peluang walaupun berada dalam krisis pandemik. Oleh hal yang demikian, industri kreatif mula disenangi dan dianggap sebagai satu daripada komponen ekonomi yang penting.\nIndustri kreatif sebenarnya sudah mulai diiktiraf sebagai komponen penting dalam sektor ekonomi. Hal ini tidak bermaksud bahawa industri ini tidak diiktiraf sebelumnya, tetapi pada masa sekarang, industri kreatif semakin dilihat oleh masyarakat mahupun dalam pentadbiran kerajaan itu sendiri. Dalam pembentangan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), saya menjangkakan pemerkasaan pembangunan industri kreatif akan diberikan tempat yang sewajarnya sebagai satu daripada komponen pembangunan ekonomi negara. Selain itu, hal ini mampu menjadi satu gabungan penjalinan (convergence) antara industri kreatif dengan ruang dunia pendigitalan untuk membentuk kelebihan dalam persaingan.\nSebagai contoh, penggabungan jalinan dunia kreatif dan digital dapat dilihat dalam karya filem animasi Malaysia yang popular, yakni Upin&Ipin. Filem ini dikatakan benar-benar memberikan impak penggunaan teknologi grafik yang terbaik dan bertaraf antarabangsa. Dengan rancangan yang tepat dan teliti, filem animasi kanak-kanak ini juga dapat menarik tumpuan segenap lapisan masyarakat dunia apabila intipati penceritaannya mencerminkan seni dan budaya negara yang tersendiri. Seterusnya, secara tidak langsung filem ini juga mampu menghasilkan sumber keuntungan yang lumayan terhadap ekonomi. Selain itu, penglibatan anak muda dalam permainan video juga dapat merancakkan ekonomi apabila berjaya dikenali pada peringkat antarabangsa.\nDalam hal ini, pelbagai inisiatif dilakukan oleh FINAS, antaranya termasuklah Dana Kandungan Digital (DKD) atau Pelan Langkah Segera Dana Kandungan Digital (PELAKSANA) dengan memberikan manfaat kepada 39 buah syarikat produksi yang melibatkan peruntukan RM13.381 juta. DKD juga melaksanakan Dana Mikro, Pemasaran, Filem Cereka, Dokumentari dan Public Service Announcement (PSA) sebagai inisiatif yang berkesan hingga berjaya mewujudkan 5000 peluang pekerjaan, di samping memperbanyakkan pemilikan Hak Cipta Kandungan dalam kalangan penerbit tempatan.\nSewaktu ketika dahulu, pandangan ini mungkin mempunyai kebenarannya. Namun begitu, tidak lagi apabila muncul generasi milenium yang celik teknologi, serta mempunyai pelbagai kebolehan dan kemahiran dalam melakukan suatu kerja. Saya dapati bahawa semakin ramai sudah mula berjinak-jinak ke arah keusahawanan, sama ada mereka sememangnya ingin menjadi seorang usahawan atau ingin menjadikan keusahawanan ini sebagai tapak untuk mencari sumber pendapatan tambahan.\nSecara umumnya, kegiatan keusahawanan ini mungkin tidak banyak dilihat kepada generasi X berbanding dengan generasi kini. Jika seseorang itu ingin melalukan sesuatu pekerjaan sambilan pada suatu ketika dahulu, misalnya menjadi guru di pusat tuisyen, mereka mempunyai keperluan untuk pergi ke premis tersebut secara fizikal untuk mengajar murid-murid. Hal ini demikian pada ketika dahulu tiada galakan penggunaan teknologi digital atau desakan semasa seperti situasi darurat sekarang.\nSituasi dunia semakin berbeza apabila hampir semua keperluan harian terpaksa dilakukan secara dalam talian. Ekoran itu, banyak anak muda terutamanya golongan Bumiputera yang sudah menceburi kegiatan perniagaan kecil-kecilan dalam talian seperti menjual makanan, baju, peralatan, dan banyak lagi. Sebagai contoh terdekat, anak saya membuat jualan kek batik sebagai satu pekerjaan sambilan untuk meningkatkan sumber pendapatan. Perkara yang saya lihat, penjual kek ini hanya sekadar mempromosikan jualan secara dalam talian tanpa memerlukan sebuah kedai secara fizikalnya sudah mampu menjalankan suatu perniagaan dengan baik. Mereka hanya memerlukan alat pembuat kek di rumah sudah memadai untuk menghasilkan kek seperti permintaan pelanggan tanpa membazirkan kos, tenaga dan masa secara amnya.\nTambahan lagi, perniagaan ini juga menjadi lebih mudah apabila wujudnya platform penghantaran barang atau makanan secara dalam talian, seperti Grab, FoodPanda dan Lalamove. Perniagaan ini secara tidak langsung memudahkan seseorang peniaga untuk mencari sumber pendapatan tambahan dengan mudah dan efisien. Bertapa canggihnya perkembangan teknologi kini dapat membantu peniaga mahupun masyarakat umum walaupun berada dalam tempoh PKP yang membatasi pergerakan dan operasi perniagaan tersebut.\nDalam kesukaran berdepan dengan wabak ini, hakikatnya banyak perkara yang mengajar kita untuk lebih maju. Bahkan, hal ini sebenarnya mampu menjadi satu peluang dan galakan kepada generasi muda, Bumiputera mahupun kepada golongan terjejas, seperti B40 dan PKS untuk lebih berjinak-jinak ke dunia keusahawanan, dan seterusnya menjadi individu yang berdaya saing dalam ekonomi dunia.\nBagi memperkasa industri kreatif negara, sejak berada di KKMM, saya komited dalam hala tuju pembangunan industri kreatif yang holistik dan komprehensif. Saya bersama-sama dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Haji Shukri telah menubuhkan Majlis Pembangunan Industri Kreatif Negara (MPIKN) yang turut dianggotai oleh wakil agensi industri kreatif. MPIKIN diperkenalkan untuk dijadikan sebagai platform bersepadu yang menyelaraskan isu berkaitan dengan industri kreatif, serta mewujudkan ekosistem yang inklusif, futuristik dan bertaraf antarabangsa antara semua agensi.\nIndustri ini seharusnya dilihat dengan satu pandangan sarwa yang lebih besar dan tepat melalui empat komponen, yakni Warisan, Seni, Media dan Kreatif Fungsional. Kita tidak mahu ada sesetengah perkara dalam industri ini tercicir. Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) perlu ditambah baik, dan mengambil kira golongan bertanggungjawab dalam bidang tertentu. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap perancangan perlu dilaksanakan dengan berhemah, adil, telus dan berkesan.\nPada peringkat awal, kita difahamkan bahawa dunia muzik selama ini tidak mempunyai pihak yang menjaga pembangunannya secara keseluruhan. Hal ini hanya disedari apabila timbulnya krisis tentang harta intelek. Oleh itu, terdapat bidang kreatif ini yang perlu diletakkan di bawah kementerian tertentu dan melakukan audit terhadap apa-apa yang telah dilaksanakan agar nasib penggiat seni akan terbela.\nDalam konteks ini, kerjasama perlulah dipupuk dengan lebih rapat antara Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di bawah perbadanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) berkaitan dengan krisis harta intelek, dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pula berkaitan dengan acara atau program nyanyian nasyid.\nKami mempunyai pelbagai perancangan dalam menentukan beberapa teras strategik KKMM. Satu daripada teras strategik ialah memangkin industri kandungan kreatif yang berdaya saing dan bertaraf global. Sebagai contohnya, kami menawarkan peluang yang lebih banyak dalam penghasilan karya dan filem patriotik yang berkualiti bertaraf antarabangsa, seperti filem tempatan memenangi Anugerah Oskar dan muzik tempatan memenangi Anugerah Grammy melalui Perbadanan Muzik. Penganjuran Anugerah Nasyid Kebangsaan dan Antarabangsa juga dilaksanakan dan dijangkakan bakal mengangkat Malaysia sebagai pusat tumpuan pembangunan karya nasyid pada peringkat pengantarabangsaan. Selain itu, bagi pengantarabangsaan industri kreatif terus diangkat dan menjadi perintis pembangunan ekonomi negara, KKMM turut bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri.\n\u201cIndustri kreatif seharusnya dilihat dengan satu pandangan sarwa yang lebih besar dan tepat melalui empat komponen, yakni Warisan, Seni, Media dan Kreatif Fungsional.\u201d\n\u201cKami juga menawarkan peluang yang lebih banyak dalam penghasilan karya dan filem patriotik yang berkualiti bertaraf antarabangsa, seperti filem tempatan memenangi Anugerah Oscar dan muzik tempatan memenangi Anugerah Grammy melalui Perbadanan Muzik.\u201d\nSebaik-baik sahaja selepas PKP fasa pertama ditamatkan, kerajaan telah membenarkan industri panggung wayang (atau lebih dikenali sebagai pawagam) untuk beroperasi seperti biasa dengan tertakluk kepada SOP yang ditetapkan. Begitu juga membenarkan penggambaran filem, drama, dokumentari dan pengiklanan diteruskan. Namun begitu, apabila PKP fasa kedua dilaksanakan, sememangnya industri ini berhadapan dengan masalah, malahan sudah ada sesetengah pawagam yang tidak mampu beroperasi atas sebab pelbagai faktor.\nAkan kepentingan kelangsungan industri ini, FINAS, MyCreative Ventures dan MDEC membuat satu sesi perjumpaan bersama-sama dengan beberapa persatuan syarikat pawagam tempatan, untuk memahami situasi dan keperluan mereka ketika pandemik ini. Namun begitu, ada sesetengah pihak yang mengkritik usaha ini kerana berpendapat bahawa mereka (pihak pawagam dan penggiat seni) ini datangnya daripada individu atau syarikat yang besar. Pada hakikatnya, kita perlu sedar bahawa setiap pawagam itu mempunyai pekerja, dan pekerja tersebut ialah rakyat biasa. Jika pawagam ditutup, mata pencarian mereka juga akan tertutup.\nWalaupun terdapat perkembangan positif dalam usaha negara memerangi COVID-19, keadaan masih belum pulih sepenuhnya. Nyawa dan keselamatan perlu diutamakan, bukan sekadar memikirkan hasil dapatan penjanaan ekonomi negara. Sehingga kini, kita tidak dapat menjangkakan lagi waktu yang sesuai untuk sektor pawagam kembali beroperasi. KKMM menerima banyak senarai filem yang belum ditayangkan dan terpaksa ditangguhkan rakamannya, serta ada filem dari luar negara yang dijangkakan boleh membuahkan hasil terhadap ekonomi juga belum berkesempatan untuk ditayangkan.\nDalam usaha mengimbangi antara kesihatan dengan ekonomi negara, KKMM khususnya MDEC sedia memberikan bantuan dari segi pengeluaran dan peruntukan, misalnya membuat hubungan kerjasama dengan syarikat stesen televisyen, seperti RTM, Media Prima dan Astro Awani Sdn. Bhd. agar penerbit produksi tidak terjejas dan mampu merancakkan semula ekonomi negara.\nKita perlu sedar bahawa setiap pawagam itu mempunyai pekerja, dan pekerja tersebut ialah rakyat biasa. Jika pawagam ditutup, mata pencarian mereka juga akan tertutup. Akan kepentingan kelangsungan industri ini, FINAS, MyCreative Ventures dan MDEC membuat satu sesi perjumpaan bersama-sama dengan beberapa persatuan syarikat pawagam tempatan, untuk memahami situasi dan keperluan mereka ketika pandemik ini.\nKami sedar akan masalah yang dihadapi, malah kami sangat simpati dan mengharapkan PKP ini disegerakan tamat seiring dengan pengakhiran penularan jangkitan COVID-19 kepada manusia. Secara umumnya, hal ini sebenarnya mempunyai perkaitan atau sangkut paut antara pihak pawagam dengan syarikat penerbit produksi dan pelbagai pihak yang lain. Pada dasarnya, kebanyakan masyarakat hanyalah nampak pawagam ditutup, namun mereka tidak nampak di belakang tabir mempunyai pihak lain yang terlibat. Sebagai contoh, syarikat produksi juga menerima tempias apabila tidak dapat beroperasi seperti biasa untuk memulihkan kembali pulangan modal yang digunakan dan pelbagai faktor lain juga.\nMesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Yang Pertama (ADGMIN1) merupakan satu jawatankuasa baharu yang dipengerusikan oleh Malaysia, dan diberikan nafas baharu melalui Pelan Induk Digital ASEAN 2025 (ADM2025). Matlamatnya ialah menjadikan ASEAN sebagai hab ekosistem digital yang kompetitif dengan perkhidmatan dan teknologi yang selamat.\nBerdasarkan statistik, ASEAN mempunyai kedudukan potensi yang besar dalam mewujudkan blok digital ekonomi negara kerana populasi penduduk sangat ramai, dan 650 juta daripadanya ialah generasi digital natives. Generasi digital natives ialah generasi yang lahir pada zaman pembangunan kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dan lingkungan umurnya 30 tahun ke bawah atau mulai tahun 1990 sehingga kini. Dari sudut ini sahaja menunjukkan bahawa ASEAN sudah ada pasaran yang terbesar dan tersedia dalam Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0). Hal ini merupakan satu kelebihan yang sangat baik untuk menarik pelabur, di samping memajukan sektor ekonomi digital.\nWalaupun dalam 10 buah negara ASEAN (Malaysia, Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Thailand, Laos, Kemboja, Myanmar, Vietnam dan Singapura) ini mempunyai jurang dari segi pembangunan digital, tetapi bakat yang wujud dalam setiap negara ASEAN itu sebenarnya cukup besar. Setiap negara ASEAN boleh membariskan kejayaannya tersendiri dalam ekonomi digital, termasuklah penonjolan bakat dalam industri kreatif. Dengan memiliki kekuatan sedia ada, kadar pembangunan penetrasi Internet di setiap negara ASEAN juga dilihat baik, iaitu 70 peratus bersamaan dengan 400 juta penduduk (lebih tinggi daripada kadar purata dunia) boleh mengakses pangkalan Internet.\nNamun begitu, cabaran ASEAN ialah dari segi ekonomi, yakni kegiatan dalaman sesama negara ASEAN masih rendah. Maka timbul persoalan, bagaimanakah cara untuk kita melonjakkan perdagangan intra ASEAN? Sekiranya kerajaan mampu mengatasi atau menangani masalah ini, pastinya negara ASEAN mampu menjadi sebuah wilayah atau rantau pembangunan ekonomi digital yang komprehensif dan kompetitif.\u00a0\nLapan Matlamat Keberhasilan mencapai Wawasan ADM 2025\nDengan memiliki kekuatan sedia ada, kadar pembangunan penetrasi Internet di setiap negara ASEAN juga dilihat baik, iaitu 70% bersamaan dengan 400 juta penduduk (lebih tinggi daripada kadar purata dunia) boleh mengakses pangkalan Internet.\nSasaran \u201cMalaysia Nadi Digital ASEAN\u201d ialah satu daripada cita-cita negara dalam usaha meningkatkan tahap kesalinghubungan digital melalui pengalaman pembangunan infrastruktur digital yang lebih menyeluruh dalam pelbagai sektor, termasuklah sektor seni dan\u00a0 kreatif. Malaysia mempunyai pelbagai kekuatan dari segi kebolehan bakat dan idea inovasi yang bertaraf global.\nSebagai contoh, hakikatnya, idea penciptaan pemacu pena (atau lebih dikenali sebagai pendrive) yang pertama di dunia sebenarnya diilhamkan oleh anak jati Malaysia. Namun begitu, pembangunan idea ini terlepas ke negara lain disebabkan oleh kelemahan negara pada ketika itu yang tidak mempunyai ekosistem yang kukuh bagi membina sesuatu produk berteknologi dalam tempoh yang singkat. Halangan ini juga terkesan apabila campur tangan birokrasi dan beberapa isu lain dibangkitkan. Sepatutnya, pihak berkepentingan bersama-sama rakyat perlu menggembleng tenaga untuk pembangunan ekosistem digital negara yang kompetitif agar tidak lagi peluang atau bakat yang dilahirkan terlepas kepada tangan orang lain. Oleh sebab itu, Majlis Digital Negara dan 4IR Negara diperkenalkan untuk tujuan penetapan dasar, pelaksanaan serta pemantauan strategi dan inisiatif ekonomi digital.\nPendidikan menjadi satu rahsia kejayaan sesuatu negara maju. Berdasarkan kajian, kebanyakan latar pendidikan rakyat Malaysia lazimnya hanya tertumpu ke arah bidang profesional konvensional seperti peguam, doktor, arkitek, jurutera dan akauntan. Perkara ini sewajarnya dipuji, namun rakyat kita perlu didedahkan dengan bidang profesional baharu, seperti saintis data, teknologi, biologi, robotik dan pakar dalam bidang kecerdasan buatan (AI). Ternyata, ketika negara dilanda pandemik COVID-19, negara kita sebenarnya tidak mempunyai ahli pakar perubatan dalam penghasilan vaksin sebagai penawar COVID-19. Sebaliknya, negara kita terpaksa menunggu pakar luar untuk penghasilan dan penerimaan vaksin bagi merawat penyakit berjangkit ini.\nOleh hal yang demikian, inisiatif pembangunan tenaga profesional baharu ini perlu dipertingkatkan demi kepentingan negara. Dalam Rancangan Malaysia ke-12, saya membayangkan satu gambar rajah berkaitan dengan isu permasalahan ini dikaji selidik, dan seterusnya diusahakan pembangunannya. Percayalah, jika usaha ini tidak dilaksanakan mungkin kita tidak mampu merealisasikan impian Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN, malah kemungkinan besar kita boleh ketinggalan jauh berbanding dengan negara lain.\nTerdapat pelbagai pendekatan ekosistem yang dilakukan oleh kerajaan mahupun kementerian ini. Antaranya termasuklah, persoalan bagaimanakah filem tempatan dapat memasuki dan memenangi Anugerah Oskar di peringkat antarabangsa? Sebagai contoh, syarikat produksi tersebut telah menghasilkan suatu filem terbaik yang bertaraf antarabangsa, namun kita menginginkan mereka juga yang membuat kerja pemasaran mempromosikan produk. Kesudahannya, hal ini sudah pasti tidak akan membuahkan hasil yang terbaik ke peringkat global kerana hakikatnya kerja pemasaran bukanlah suatu kepakaran pihak produksi. Hubungan bekerjasama yang kukuh antara semua pihak perlulah diterapkan dan disemaikan agar hasrat itu dapat direalisasikan dengan efisien.\nPeri pentingnya usaha meningkatkan hubungan tiga hala antara pihak kerajaan, swasta dengan masyarakat sivil seharusnya diberikan tumpuan yang lebih signifikan agar membentuk persepakatan dalam mempertahankan kepentingan politik, keselamatan dan ekonomi negara. Antara majlis dan jawatankuasa yang berperanan penting, termasuklah Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Majlis Pembangunan Industri Kreatif dan banyak lagi. Semua majlis ini sememangnya mempunyai hubungan tiga hala, namun masih belum menjadi suatu budaya automatik (semula jadi) secara keseluruhannya.\nPada dasarnya, hal ini sudah mulai menjadi kelaziman budaya automatik mengaplikasikan hubungan tiga hala pada peringkat kebangsaan dan persekutuan, tetapi tidak banyak dilihat pada sesetengah sektor atau lapisan lain, sehinggakan ada yang terlupa untuk memberikan ruang kepada wakil orang muda atau golongan wanita untuk turut serta. Mungkin hal ini ada, tetapi bilangannya terlalu sedikit. Oleh itu, pembentukan pentadbiran hubungan antara kerajaan, swasta dengan masyarakat sivil, termasuklah golongan yang sering dipinggirkan, yakni orang kurang upaya (OKU) perlulah seimbang dan dinamik.\nMajlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara\nHala tuju dan sasaran KKMM pada tahun ini ialah memperkasakan komuniti ini melalui beberapa strategi hubungan komunikasi yang efektif dan inklusif. Kementerian saya ada melantik seorang pegawai tugas-tugas khas seperti jurubahasa isyarat dalam beberapa program dan aktiviti sebagai satu daripada kemudahan untuk golongan ini mengakses informasi penting, khususnya isu semasa.\nSebagai contohnya, berita tentang penularan pandemik COVID-19 yang disampaikan melalui stesen televisyen, radio atau di media sosial. Kita sering terlepas pandang dan beranggapan bahawa berkemampuan mereka untuk berkomunikasi dan menerima maklumat adalah sama seperti orang biasa. Pada hakikatnya, sesuatu penyampaian tersebut mungkin tidak sampai dengan sempurna tanpa menggunakan bahasa isyarat mereka. Oleh itu, KKMM dalam usaha menubuhkan Unit Komunikasi OKU di kementerian dan akan diketuai oleh warga OKU juga. Matlamatnya ialah meningkatkan komunikasi dua hala ini, serta menjamin hak golongan minoriti ini terpelihara daripada diskriminasi, penganiayaan dan penindasan.\nSelain itu, KKMM juga bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam memastikan semua komunikasi kerajaan sampai ke komuniti Orang Asli. Yang menariknya, golongan ini dan pribumi Sabah dan Sarawak juga diberikan beberapa segmen dalam program di RTM, yang menggunakan dialek mereka sebagai bahasa utama. Tayangan program ini bukan sekadar memberikan pendedahan kepada golongan ini sahaja, tetapi menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia agar mengenali budaya atau adat golongan ini.\nInfrastruktur maklumat yang mampan dan kekal terjamin merupakan satu daripada aset keselamatan yang sangat penting pada negara. Dengan peruntukan sebanyak RM1.8 bilion, Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2020\u20132024 dilaksanakan untuk meningkatkan kesiapsiagaan keselamatan siber negara. Selain itu, kerajaan juga membangunkan sebanyak 12 083 orang profesional dan tenaga kerja yang berpengetahuan supaya mampu menangani tembusan ancaman jenayah siber dalam negara ini.\nNamun begitu, Malaysia tidaklah mempunyai seratus peratus keselamatan yang sempurna, walaupun Malaysia dan Singapura dianggap dua negara yang ke hadapan di rantau ASEAN dalam memerangi ancaman jenayah siber. Di Malaysia, terdapat sebuah agensi keselamatan siber kebangsaan, yakni CyberSecurity Malaysia (CSM) di bawah bidang KKMM yang mempunyai kepakaran yang diiktiraf pada peringkat dunia, iaitu dinobatkan sebagai pemenang projek Global Accredited Cybersecurity Education (ACE) Scheme: Centre of Excellence for Capacity Building anf Lifelong Learning bagi kategori 5 \u2013 Building Confidence and Security in Use of ICTs.\nTujuan CSM ditubuhkan adalah untuk membina keupayaan pengurus dan golongan profesional dalam bidang TMK, serta boleh diguna pakai di peringkat rantau ASEAN melalui kursus kemahiran dan pensijilan keselamatan yang kompetensi. Antaranya, termasuklah pelaksanaan Skim Pendidikan Cybersecurity Akreditasi Global (ACE), iaitu kerangka holistik pensijilan profesional keselamatan siber; dan CyberSAFE (Cyber Security Awareness for Everyone) untuk meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan TMK yang selamat dan positif dalam kalangan pengguna Internet.\nBaru-baru ini ketika mesyuarat ADGMIN1, Malaysia mencadangkan satu daripada mekanisme penting dalam ADM2025 ialah mengaplikasikan ACE untuk memperkukuhkan keselamatan siber secara efektifnya. ACE merupakan sumbangan terbesar Malaysia kepada keselamatan siber dalam negara ASEAN.\nStrategi Keselamatan Siber Malaysia\nKesedaran diri dalam setiap rakyat juga perlu ditingkatkan, terutamanya berkaitan dengan hak keselamatan siber sebagai pengguna. Misalnya, sejauh manakah ibu bapa memahami keselamatan anak mereka yang menggunakan pelbagai platform dalam dunia siber, termasuklah Akta Keselamatan Siber (undang-undang baharu yang sedang diusahakan oleh KKMM). Dalam hal ini, kerajaan bertanggungjawab penuh dalam memantau dan kawal selia setiap maklumat bagi melindungi hak pengguna daripada ancaman jenayah siber.\nTerbukti, perkembangan semasa ekonomi global kini menunjukkan industri kreatif ialah satu daripada sumber penting bagi pertumbuhan ekonomi dan percambahan budaya di negara maju. Sebagai contoh, di negara maju seperti Korea Selatan, Jepun, China dan Amerika Syarikat, mendapati bahawa industri kreatif jelas membentukkan peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang tinggi dan agak lumayan pada negara.\nSeiring dengan hasrat kerajaan, FINAS berjaya membantu individu meningkatkan idea yang baik, bakat yang menonjol, dan sikap keterbukaan kerajaan dalam merealisasikan pembangunan industri kreatif yang berekosistem dan ekonomik. Dalam usaha ini, KKMM sedang membina akta muzik dan menubuhkan perbadanan muzik untuk membantu industri ini lebih ke hadapan dalam melebarkan sayap empayarnya.\nSeperti contoh yang dibangunkan oleh KKMM, iaitu pertandingan nasyid pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Secara tidak langsung, industri kreatif di Malaysia mampu menyumbangkan program di persada dunia, dan Malaysia kini dianggap sebagai satu platform program nasyid kontemporari tahunan. Pada tahun lalu, anugerah nasyid dilakukan pada peringkat kebangsaan, dan tahun ini akan bermula anugerah nasyid pada peringkat antarabangsa.\nMaka itu, Malaysia juga boleh menjadi contoh seperti negara maju yang lain apabila hubungan sinergi antara kerajaan dan masyarakat sentiasa seimbang, di samping merealisasikan hasrat kerajaan, iaitu Malaysia mempunyai pembangunan ekosistem yang kukuh, serta melahirkan banyak bakat profesionalisme tinggi dalam kalangan masyarakatnya." "Apakah yang Ada pada Nama?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNama merupakan rekaan manusia yang arbitrari untuk merujuk sesuatu bahan, alat atau perkara. Dalam hal ini, kepelbagaian nama tempat yang dihasilkan merupakan manifestasi imaginasi dan kreativiti manusia yang amat menakjubkan. Hal ini cukup menarik untuk kita renungi dan dalami.\nDari segi nama bagi tempat tinggal, kita ada nama seperti istana, rumah sebuah, banglo, rumah berkembar, rumah teres, rumah pangsa, pangsapuri, pondok atau teratak, rumah tradisional, rumah kampung, rumah bertiang dan rumah panjang. Konsep rumah juga dapat diperluas untuk meliputi tempat penginapan yang sementara seperti rumah tumpangan dan rumah inap desa. \nDari segi tempat makan, kita ada nama seperti restoran, kafe, warung, kedai makan, gerai dan kantin. Dari segi premis perniagaan, kita ada nama seperti pasar basah, pasar minggu, pasar tani, pasar malam, pasar raya, pasar raya besar, kedai runcit, kedai borong dan gedung beli-belah. Dari segi tempat bersukan, kita ada gelanggang bola, arena boling, gimnasium, stadium luncur ais, padang sasar, kolam renang, padang golf, velodrom dan litar lumba kereta.\nSelain nama tempat yang sudah biasa kita kenali, ada juga nama tempat yang diperluas untuk merujuk institusi khas atau perkara lain. Sebagai contoh, kata rumah juga berkaitan dengan rumah persinggahan yang merupakan tempat bagi bekas penagih dadah di Pusat Serenti untuk mendapat rawatan dan bantuan lanjutan sebelum mereka kembali ke pangkuan masyarakat. Selain itu, konsep rumah dapat dikaitkan dengan negara.\u00a0 Bukankah kerajaan kita sedang mempromosikan\u00a0 Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H)?\nSelain rumah, ada kalanya bahagian rumah seperti anjung dan serambi juga dikaitkan secara kreatif dengan fenomena lain. Kata anjung bererti \u201cbahagian sisi atau tengah rumah yang ditinggikan\u201d dan serambi bererti \u201cselasar panjang yang bersambung dengan ibu rumah tetapi biasanya rendah sedikit\u201d. Sebagai contoh, Aceh pernah diberi nama jolokan sebagai serambi Mekah kerana merupakan tempat persinggahan bagi bakal haji membuat persediaan sebelum menyambung perjalanan ke tanah suci. Selain itu, sambungan bangunan yang dijadikan tempat makan berbumbung yang terbuka dinamakan sebagai anjung selera atau serambi selera. Yayasan Kebajikan Negara (YKN) turut menyediakan anjung kasih sebagai rumah penginapan sementara untuk golongan yang kurang berkemampuan yang mengiringi pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital kerajaan.\nKata medan sering dikaitkan dengan medan perang. Walau bagaimanapun, kata tersebut juga dapat dikaitkan dengan tempat makan, iaitu sebagai medan selera. Kata arena sering dikaitkan dengan aktiviti sukan, iaitu arena sukan atau arena boling. Sekarang, kata tersebut juga dikaitkan dengan bidang politik yang menampilkan percaturan dan persaingan yang hebat, iaitu sebagai arena politik. Kata taman bukan sahaja berkaitan dengan taman bunga tetapi mungkin juga merujuk taman perumahan, taman rama-rama, taman tema, taman tema air, taman rekreasi, taman permainan dan taman hidupan liar. Selain itu, terdapat juga konsep seperti bandar dalam taman dan sekolah dalam taman. Kata gedung yang sering dikaitkan dengan gedung beli-belah juga mungkin merujuk perpustakaan sebagai gedung ilmu.\nBentuk muka bumi seperti dataran, lembah dan puncak juga dapat digunakan untuk merujuk benda lain. Kata dataran bererti kawasan yang datar, lembah ialah tanah rendah di kaki gunung atau bukit, manakala puncak bererti bahagian yang tertinggi bagi bukit, gunung, menara dan pokok. Sekarang kata dataran dapat diperluas untuk meliputi hal seperti dataran merdeka, dataran siswa atau dataran ilmu. Kata lembah dapat dijadikan metafora untuk menjadi lembah kemiskinan, dan kata puncak dapat dijadikan metafora sebagai puncak kejayaan dan puncak kegemilangan. Kata tebing, bukan setakat merujuk tebing sungai\u00a0tetapi berkaitan dengan tebing batu dan tebingan sungai.\nDengan perubahan zaman, kata laman yang merupakan versi percakapan bagi kata halaman dapat dikaitkan dengan laman web atau laman sesawang. Kata kios bukan hanya bererti kios minyak, tetapi juga termasuk kios maklumat atau kios elektronik. Kata sarang bukan sekadar bererti sarang burung, sarang tebuan atau sarang anai-anai, tetapi mungkin merujuk sarang tikus, sarang ular, sarang penjenayah dan sarang penagih dadah, iaitu tempat yang banyak terdapat hidupan atau anasir negatif tertentu. Kata balai bukan setakat merujuk balai masyarakat atau balai orang ramai, tetapi termasuk balai polis, balai bomba dan balai orang kenamaan. Dari segi binaan yang berbentuk menara, kita bukan sahaja ada rumah api, malahan kita ada serombong tinggi, menara kawalan, menara tinjauan dan menara berkembar.\nSelain peluasan maksud kata, ada kalanya terdapat kata-kata baharu untuk menandakan ciri-ciri perbezaan yang halus. Sebagai contoh, kita menggunakan kata kilang untuk kilang papan tetapi kata loji untuk loji jana kuasa nuklear dan loji perawatan air. Dari segi tempat untuk perahu atau kapal berlabuh, kita ada kata-kata seperti jeti, pangkalan, dermaga dan pelabuhan, malahan sekarang sudah ada istilah seperti pangkalan data, pangkalan tentera dan pelabuhan darat." "Bank: Rakyat Memilih Saluran Digital\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR, 16 Mac 2021 \u2013 Satu tinjauan yang dilakukan baru-baru ini oleh firma perisian analitik global, FICO mendedahkan bahawa sebanyak 61 peratus pengguna Malaysia lebih gemar menggunakan saluran digital untuk berhubung dengan pengurusan bank berbanding dengan bersemuka ketika musim kemuncak penularan wabak ini.\nPenembusan Internet berkelajuan tinggi pada tahap yang baik di Malaysia menyumbangkan 27 peratus rakyat Malaysia untuk lebih gemar berkomunikasi tentang kesukaran kewangan melalui perbankan dalam talian; 18 peratus menggunakan aplikasi perbankan mudah alih; lapan peratus lebih gemarkan perbankan telefon; enam peratus berkomunikasi melalui e-mel dan dua peratus memilih menggunakan teknologi persidangan maya. Hasil tinjauan ini membuktikan ketersediaan pengguna dalam memanfaatkan perbankan digital dan membuka peluang pada bank untuk terus mengembangkan tawaran perkhidmatan mereka.\nRisiko jangkitan dan keperluan penjarakan fizikal menjadikan kunjungan ke cawangan kurang menarik pada tahun lalu. Namun begitu, hal ini mempercepat transformasi saluran perbankan digital di seluruh dunia,\u201c jelas Aashish Sharma, Ketua Risiko Kitaran Hayat dan Pengurusan Keputusan FICO di Asia Pasifik.\n\u201cPengguna perbankan digital hari ini mahukan kedudukan kewangan mereka boleh dikawal dan boleh dilihat. Sebanyak 73 peratus pengguna Malaysia menyatakan faktor utama menggunakan platform digital ialah disebabkan oleh mereka berupaya untuk melihat sejarah transaksi, mengemas kini butiran peribadi, menetapkan semula kata laluan, mengehadkan pengeluaran transaksi, serta fungsi-fungsi lain,\u201c ujarnya lagi.\nSikap pelanggan terhadap teknologi baharu boleh menghasilkan pilihan dan tingkah laku yang menarik. Kemampuan untuk menyampaikan dan mengurus pelbagai saluran selaras dengan pilihan pelanggan dan memberikan pengalaman kepenggunaan yang lancar merupakan satu cabaran yang berkekalan." "Ekonomi Digital Mampu Bertahan pada Era Pandemik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAktiviti jual beli dalam talian yang mencatatkan peningkatan sebanyak 28.9 peratus pada April tahun lalu membuktikan perkembangan teknologi digital terkini membawa perubahan besar dalam model perniagaan sedia.\nPeningkatan ini dilihat disebabkan oleh penularan wabak pandemik COVID-19 yang mula melanda di seluruh dunia pada akhir tahun 2019 dan memberikan kesan yang besar kepada sektor ekonomi.\nJika dilihat semula, keusahawanan digital menjadi topik perbualan popular dalam kalangan peniaga di saat penularan wabak COVID-19, apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu yang menyaksikan kesemua sektor ekonomi ditutup.\nBermula saat itulah, banyak perniagaan tidak dapat beroperasi secara fizikal, kedai dan restoran pula terpaksa ditutup, malah sehingga ke hari ini walaupun sudah setahun pandemik tersebut melanda, banyak perniagaan gulung tikar.\nDaripada terus menanggung kerugian ataupun tutup perniagaan sedia ada, pemilik perniagaan perlu berfikir kaedah terbaik untuk mempelbagaikan perniagaan, serta mengalihkan kaedah berinteraksi dengan pelanggan melalui perniagaan secara digital.\nSituasi ini dilihat membentuk cabaran yang perlu diatasi oleh golongan usahawan mengadaptasikan teknologi yang pelbagai supaya bersesuaian dengan perniagaan semasa.\nPeralihan ekonomi sedia ada kepada ekonomi digital dilihat mempercepat pertumbuhan ekonomi tempatan dan nasional, dengan kebanyakannya terdiri daripada usahawan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).\nOleh sebab itu, pada pertengahan tahun lalu, kerajaan telah melancarkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang memperuntukkan RM700 juta bagi pembangunan platform perniagaan digital menerusi pemberian geran dan pinjaman kepada syarikat berstatus PKS serta syarikat peringkat pertengahan untuk menerapkan penggunaan teknologi digital dalam operasi dan saluran perniagaan masing-masing.\nBukan itu sahaja, malah Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dilancarkan pada 2019 turut menggariskan ekonomi digital sebagai antara pertumbuhan ekonomi negara.\nKeadaan ini secara tidak langsung bukan sahaja menyaksikan kehadiran perniagaan secara dalam talian yang banyak memberikan kesan terhadap ekonomi digital, malah mampu meningkatkan dan merangsang daya tahan ekonomi digital negara, sekali gus membantu rakyat serta perniagaan yang terkesan akibat COVID-19.\nDijangka melalui perkembangan perniagaan digital akan berlaku pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta ekonomi Malaysia dan pada masa yang sama \u00a0mampu mewujudkan pelbagai peluang perniagaan dan pekerjaan. Hal ini dapat dilihat apabila banyak peluang baharu dapat diteroka dan dicipta, seperti kaedah penghantaran secara e-panggilan yang semakin menjadi pilihan ramai dalam usaha untuk meneruskan kehidupan. Jika dilihat dari sudut kebaikan, pandemik yang tercetus sehingga hari ini turut memberikan banyak faedah kepada masyarakat terutamanya dalam bidang pendigitalan.\nBanyak aplikasi bersemuka dalam talian telah diwujudkan dan boleh dijadikan saluran perniagaan seperti platform YouTube yang juga boleh menjana pendapatan. Jika dilihat secara menyeluruh, banyak ruang serta peluang dapat diteroka dalam dunia pendigitalan ini dan mampu membawa usahawan meneroka lebih jauh dan bergerak seiring dengan perubahan ini untuk terus kekal relevan dalam dunia perniagaan semasa.\nHari ini, kuasa Internet, Facebook secara langsung serta sesuatu yang menjadi tular dalam dunia digital tidak boleh disangkal kerana mampu mencetuskan fenomena baharu dalam semua bidang termasuk perniagaan. Yang paling penting, usahawan tersebut mampu menguasai dan mengendalikan media sosial dengan baik seterusnya menjadikannya sebagai batu loncatan untuk terus berjaya dalam dunia ekonomi digital ini.\nSetiap usahawan dinasihatkan serta digalakkan meneroka dunia digital untuk bangkit kembali selepas melalui detik sukar COVID-19 dan pada masa yang sama memantapkan kembali perniagaan yang diusahakan sebelum ini. Untuk itu, usahawan yang terjejas mahupun usahawan sedia ada perlu mengubah minda bahawa perniagaan pascapandemik tidak seharusnya memerlukan modal yang besar dan kedai fizikal. Cukuplah beroperasi dari rumah dan pemasaran dilakukan secara dalam talian melalui platform pendigitalan sedia ada.\nDengan ini, mereka boleh bekerja dari rumah secara dalam talian, atau boleh berurus niaga menggunakan pelbagai pelantar perniagaan beli-belah yang pastinya memberikan keuntungan buat setiap peniaga.\nPada hakikatnya, aktiviti penjualan dan pembelian dalam talian kini dilihat bersesuaian dengan normal baharu pascapandemik dan usahawan perlu terus merangka pelan perniagaan yang komprehensif dan berdaya saing." "Perlu Kekuatan Minda untuk Kembali Bangkit\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBulan Mac 2021 menandakan ulang tahun pertama warga Malaysia terus berdepan dengan kebiasaan baharu seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penjarakan fizikal, bekerja dari rumah dan pemakaian pelitup muka, namun bagi sebahagian rakyat negara ini, 12 bulan lalu merupakan permulaan cabaran getir dalam hidup mereka.\nAda yang terjejas pendapatan bulanan, hilang pekerjaan atau terpaksa menutup perniagaan, dan lebih perit lagi tidak dapat mencari sumber pendapatan baharu dalam suasana ekonomi negara dan juga dunia masih tidak menentu.\nBukan setakat itu sahaja, malah terdapat syarikat gergasi bertindak menutup operasi, pusat membeli belah gulung tikar, serta peniaga-peniaga kecil yang tidak mampu menampung beban kos operasi kerana sudah mengatasi had pusingan modal dan pembayaran hutang. Jika majikan tidak mampu meneruskan operasi seperti kebiasaannya, maka pekerja terpaksa dikurangkan ataupun diberhentikan apabila operasi mereka terpaksa ditutup sepenuhnya.\nImpak ekonomi merudum ini akan menjejaskan kesihatan minda dalam kalangan mereka yang terjejas, termasuklah majikan, pekerja mahupun ahli keluarga. Mereka berdepan tekanan besar bagi mencari sumber pendapatan secukupnya untuk mengelak diri dan keluarga kelaparan, atau lebih teruk lagi hilang tempat berteduh. Keadaan ini mendorong sesetengah individu mengambil langkah drastik yang menjejaskan diri dan masyarakat setempat.\nPensyarah dan Ahli Psikologi Klinikal, Jabatan Psikologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Siti Inarah Hashim menjelaskan, impak ekonomi terhadap kesihatan mental bukan hanya berlaku di Malaysia, malah turut dihadapi penduduk di seluruh dunia.\n\u201cKesihatan mental merujuk kepada keadaan seseorang yang dapat berfungsi setiap hari, termasuklah dalam perhubungan sekeliling dengan keluarga, rakan-rakan dan masyarakat, selain kemampuan menghadapi tekanan atau masalah hidup dengan cara yang sihat termasuklah ekspresi emosi dan pemikiran dengan cara yang sihat dan betul.\u201c\nKita dapat lihat sebelum bermulanya pandemik ini lagi, boleh dikatakan satu daripada setiap empat individu dipercayai mempunyai masalah gangguan mental. Jumlah ini dijangka bertambah ketika berdepan kesukaran hidup dalam kebiasaan baharu kini, lebih-lebih lagi dari sudut ekonomi seperti hilang pekerjaan atau sumber pendapatan,serta kesunyian kerana kekangan daripada berjumpa dengan ahli keluarga dan rakan-rakan,\u201c jelas beliau.\nBeliau memaklumkan antara gejala biasa yang memberikan impak kepada kesihatan mental manusia termasuklah kemurungan, kerisauan yang terlampau atau rasa cemas yang keterlaluan (anxiety), tekanan perasaan dan sebagainya.\nJelas beliau, jika gejala itu tidak dirawat dan dibiarkan berlarutan, tahap kesihatan mental individu berkenaan akan bertambah buruk dan mungkin mendorong mereka mengambil keputusan melulu sehingga memberikan kesan negatif kepada diri dan masyarakat.\nBeberapa kajian menunjukkan ada peningkatan kes membunuh diri berbanding dengan perangkaan biasa yang sejajar dengan impak ekonomi pada awal PKP tahun lalu. Begitu juga laporan kes-kes jenayah yang melihatkan golongan terdesak mencari sumber makanan untuk diri dan keluarga.\n\u201cKeadaan diharap akan segera pulih dan ekonomi mungkin boleh bangun semula selepas pandemik ini beransur-ansur meninggalkan kita. Walau bagaimanapun, jika gejala atau keadaan mental mereka diabaikan, mungkin mereka akan mengalami kesukaran untuk bangun semula dan kembali menyumbang kepada ekonomi diri serta pembangunan negara.\u201c\n\u201cHal ini mungkin melambatkan atau memberikan impak buruk kepada pembangunan semula ekonomi Malaysia yang sudah terjejas teruk akibat pandemik ini,\u201c tegas Dr. Siti Inarah.\nBeliau berharap rakyat Malaysia cakna dan peka terhadap gejala-gejala situasi kesihatan mental diri sendiri dan juga orang di sekeliling mereka, termasuk cara untuk mendapatkan bantuan pakar psikologi.\n\u201cDapatkan cara terbaik untuk mengurangkan tekanan, luangkan masa dengan keluarga dan rakan walaupun cuma dalam talian, bersenam dan jika ada gejala kemurungan, rasa cemas dan sebagainya, dapatkan rawatan sewajarnya. Tekad dalam minda sekalipun bukan untuk diri kita, jagalah kesihatan dan kekuatan minda untuk orang tersayang kerana seburuk mana pun situasi sekarang, pasti ada jalan penyelesaiannya. Beringat bahawa diri kita masih diperlukan ahli keluarga, rakan-rakan dan juga negara,\u201c ujar beliau lagi.\nCOVID-19 mungkin musibah paling teruk pernah dihadapi rakyat negara ini, pastinya bukan musibah terakhir untuk kita. Setiap seorang warga Malaysia perlu mempunyai kekuatan minda untuk mengharungi apa-apa jua cabaran hidup dan jangan sesekali mengambil jalan mudah yang akan menjejaskan diri, keluarga dan orang di sekeliling kita." "PKP Dorong Orang Melayu Melabur\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPelaburan saham sebagai satu bentuk sumber pendapatan dan simpanan jangka panjang bukanlah perkara baharu bagi penduduk Malaysia, tetapi majoriti pelabur kebiasaannya terdiri daripada orang bukan Melayu dan golongan kaya atau berpendapatan tinggi.\nSejak sekian lama, orang Melayu rata-ratanya menjauhkan diri daripada pelaburan saham atas beberapa faktor seperti isu halal dan haram atau patuh syariah, kurang ilmu berkaitan cara-cara untuk melabur, mentaliti tiada modal untuk melabur dan kesukaran mendapat akses kepada platform pelaburan. Jika dibiarkan berterusan, orang Melayu akan ketinggalan dan terpinggir dalam satu daripada bidang yang mampu menjana sumber pendapatan dan jaminan masa depan.\nJika dibiarkan berterusan, orang Melayu akan ketinggalan dan terpinggir dalam satu daripada bidang yang mampu menjana sumber pendapatan dan jaminan masa depan.\nNilai pasaran saham dunia kini telah melangkaui A.S.$93 trilion (RM375.8 trilion) dengan kira-kira separuh daripadanya merangkumi nilai saham di AS sebanyak AS$51 trilion (RM206 trilion) manakala nilai saham di Malaysia sekitar A.S.$430 bilion (RM1.7 trilion).\nNilai mata wang kripto pula telah mencecah 1.7 trilion (RM6.9 trilion) walaupun bentuk pelaburan ini baru wujud sejak 2009 dengan Bitcoin menjadi mata wang digital pertama dunia. Bitcoin mencatatkan peningkatan sebanyak 400 peratus sepanjang 2020 dengan harga terendah A.S.$3600 (RM14 524) pada Mac 2020 ketika permulaan wabak COVID-19,dan melonjak kepada A.S.$20 632 (RM83 240) pada Disember tahun sama, sebelum naik dua kali ganda kepada A.S.$51 471 (RM208 037) pada 23 Februari 2021. Selain Bitcoin, banyak mata wang kripto lain muncul bagai cendawan selepas hujan seperti Ethereum, Binance, Tether, Polkadot dan banyak lagi.\nPerintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19 dipercayai mendorong lebih ramai rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu dan golongan yang hilang sumber pendapatan, mencuba nasib melabur secara kecil-kecilan. Hal ini dapat dilihat melalui lonjakan perkongsian ilmu dan pengalaman pelabur di media sosial dan peningkatan tontonan video berkaitan saham dan mata wang kripto khususnya di dalam YouTube, Facebook dan TikTok.\nAntara \u201cilmu\u201d yang dikongsi termasuklah penggunaan aplikasi pintar, seperti Wahed Invest untuk membeli saham patuh syariah dan Luno untuk mata wang kripto, yang bukan sahaja menyelesaikan isu akses kepada platform pelaburan, malah membuka pintu kepada pelabur kecil melabur mengikut kemampuan masing-masing. Aplikasi pintar juga membolehkan orang ramai membeli dan menjual secara terus serta memindahkan modal atau keuntungan secara terus ke akaun bank peribadi. Walaupun dianggap sebagai pelaburan berisiko tinggi, semakin ramai memilih mata wang kripto kerana tidak perlu berurusan dengan orang tengah, agensi mahupun sistem perbankan, sebaliknya jual beli dibuat secara terus dan telus menggunakan beberapa jenis aplikasi pintar yang diluluskan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.\nTidak kurang juga perkongsian sesetengah pelabur tempatan yang mendakwa telah mengaut keuntungan sehingga puluhan ribu ringgit hasil lonjakan mendadak saham tertentu dan mata wang kripto sejak awal tahun ini. Lonjakan mendadak mata wang kripto antara lain didorong tindakan bilionair, Elon Musk membeli A.S.$1.5 bilion (RM6 bilion) Bitcoin melalui syarikat miliknya, Tesla Inc. pada 8 Februari 2021. Musk turut menggunakan platform media sosial miliknya sejak 2020 untuk mempengaruhi pelabur-pelabur kecil bersatu membeli saham dan mata wang kripto tertentu, menyebabkan nilainya melonjak. Pada masa yang sama, sekumpulan pelabur dikenali sebagai wallstreetbets menggunakan laman web Reddit untuk mengajak golongan pelabur kecil, termasuk di Malaysia, bergabung bagi menentang pelabur besar di Wall Street, New York.\nWalaupun PKP dilihat banyak mendorong rakyat Malaysia mencuba pelaburan saham dan mata wang kripto, tindakan terjun melulu sama ada mengikut trend semasa, atau tanpa ilmu dan pemahaman berkaitan dengan prosedur dan peraturan khususnya melibatkan undang-undang pelaburan di negara ini,mungkin mengundang bencana. Urus niaga secara digital memudahkan seseorang melabur, namun masih tertakluk kepada sistem perundangan negara dan juga risiko besar sekiranya pelabur gagal memahami perbezaannya dengan pelaburan berisiko rendah seperti amanah saham yang dilindungi kerajaan.\nPelabur baharu juga perlu melihat sudut tersirat promosi pihak tertentu di media sosial disebabkan rata-ratanya tidak akan berkongsi kisah kerugian yang mereka alami. Aktiviti melabur perlu bersandarkan ilmu dan kesabaran demi kelangsungan berpanjangan, bukannya bersikap tamak haloba demi mengejar keuntungan mudah dan segera semata-mata." "MEDAC Cakna Terhadap Golongan PKS dan Koperasi yang Terjejas\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPUTRAJAYA, 18 Mac 2021 \u2013 Ekoran pembentangan Program Strategik Memperkasakan Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) pada pukul 5.30 petang semalam oleh Tan Sri Dato\u2019 Haji Muhyiddin Haji Muhammad Yassin, Perdana Menteri Malaysia, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bersedia memberikan bantuan dan saluran insentif kepada usahawan dan koperasi yang terjejas sepanjang pandemik ini berlaku.\nMEDAC amat komited bagi memastikan inisiatif PEMERKASA yang diumumkan ini dapat dinikmati segera oleh usahawan yang disasarkan agar aktiviti perniagaan mereka dapat diteruskan dan dipulihkan kesan daripada kelembapan ekonomi akibat penularan pandemik COVID-19\u201d, jelas Dato Sri Dr. Hj Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri MEDAC.\nInisiatif PEMERKASA ini akan dilaksanakan bersama-sama melalui lima fokus utama yang berteraskan program pemulihan dan pemerkasaan ekonomi sepanjang tahun 2021. Dalam usaha ini, MEDAC mengenal pasti dan menyokong beberapa pemberian insentif berkaitan dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan koperasi.\nAntara 10 insentif yang diperkenalkan, termasuklah Geran Khas Prihatin (GKP 3.0); Skim Pembiayaan Informal bagi usahawan sektor informal; dana pembiayaan tambahan bagi kemudahan pembiayaan mikro kredit melalui program di bawah BSN, TEKUN, MARA dan SME Corp.; pemerkasaan usahawan wanita; Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE); TEKUN Mobilepreneur ditingkatkan; Program TEKUN POS-preneur; dan banyak lagi.\n\u201cDengan pengumuman ini, MEDAC mengharapkan usahawan dapat meneruskan kelangsungan operasi perniagaan walaupun menghadapi tempoh kesukaran serta pelbagai cabaran dan saingan. MEDAC bersedia untuk membantu dalam menyalurkan segala insentif PEMERKASA kepada usahawan dan koperasi yang terkesan,\u201d jelasnya dalam kenyataan media hari ini." "Manfaat Hubungan Bilateral Malaysia-Arab Saudi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada 6 Mac lalu, Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato\u2019 Haji Muhyiddin Haji Mohd. Yassin, Perdana Menteri Malaysia telah melakukan lawatan rasmi ke Arab Saudi. Lawatan ini memunculkan pelbagai reaksi daripada masyarakat. Apakah manfaat hubungan ini terhadap Malaysia?\nDalam hubungan antarabangsa, hubungan dua hala atau istilahnya bilateral merupakan asas substantif dalam usaha melebarkan kerjasama yang berimpak untuk tempoh yang panjang. Satu daripada contoh yang wajar diberikan kredit ialah pada era mantan Perdana Menteri keenam, Dato\u2019 Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak Najib. Meskipun kisah beliau dengan Arab Saudi lebih menonjol dengan isu kontroversi \u201cderma\u201d daripada Raja Salman, namun dalam strategi pembentukan hubungan bilateral dengan negara tersebut, pada era pemerintahannya wajar diberikan kredit.\nKunjungan rasmi kali pertama Raja Salman Abdul Aziz Al-Sa\u2019ud ke Malaysia pada tahun 2017 memberikan Malaysia pelbagai manfaat ekonomi, misalnya pelaburan bernilai RM 31 bilion dalam projek RAPID PETRONAS Pengerang dan Saudi Aramco. Projek ini mewujudkan hampir 50 000 peluang pekerjaan yang menyumbang kepada sosioekonomi masyarakat setempat.\nPengerang dahulunya merupakan kawasan yang kurang membangun, kini dipacu oleh transformasi sosioekonomi yang signifikan selepas kemasukan projek RAPID. Limpahan tenaga kerja di Pengerang mewujudkan kuasa beli yang substantif. Selain perniagaan yang \u201cmenjadi\u201d, poket penduduk setempat juga bertambah melalui perniagaan sewa rumah yang menguntungkan. Hasilnya, Pengerang dan kawasan sekitarnya mula dikenali, lantas membuka mata pemaju untuk membangunkan pelbagai projek harta\u00a0tanah di kawasan tersebut.\nSelain memberikan manfaat terhadap sektor ekonomi, Malaysia turut menerima imbalan tambahan seperti 30 000 kuota haji dan beberapa kemudahan lain, misalnya pelepasan haji segera (fast track) untuk jemaah haji Malaysia di Lapangan Terbang Madinah dan Jeddah,\u00a0serta diberikan khemah berhawa dingin di Arafah.\nKlimaks hubungan antara Arab Saudi dengan Malaysia pada era Najib memperlihatkan Arab Saudi membuka Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di Putrajaya, umpama pemberian \u201cbunga emas\u201d kepada Malaysia sebagai satu simbol persahabatan. Tidak seperti \u201cdiplomasi Panda\u201d daripada China yang membebankan, kesemua kos pembinaan dan operasi KSCIP ini turut dibiayai penuh oleh Arab Saudi.\nPenutupan KSCIP secara mengejut oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pascaPilihan Raya Umum-14 (PRU-14) sedikit sebanyak merencatkan kitaran hubungan antara Malaysia dengan Arab Saudi. Natijahnya, Arab Saudi mempamerkan \u201cprotes lunak\u201d dengan tidak menghadiri Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 (KL Summit 2019). Trajektori ini pada dasarnya tidak sihat untuk Malaysia, terutamanya dengan mengambil kira Arab Saudi yang merupakan rakan perdagangan kedua terbesar negara dalam kalangan negara Timur Tengah. Berdasarkan data daripada United Nations COMTRADE, nilai eksport Malaysia ke Arab Saudi bernilai kira-kira A.S.$1.03 bilion pada tahun 2019.\nLawatan rasmi Tan Sri Dato\u2019 Haji \u00a0Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi baru-baru ini dilihat sebagai mekanisme penting untuk mengeratkan kembali hubungan Malaysia dengan Arab Saudi yang agak renggang ketika era PH. Dalam hubungan antarabangsa, setiap kunjungan rasmi bukanlah berdiri atas nilai \u201cpersahabatan\u201d semata-mata, sebaliknya mempunyai tujuan tertentu demi mewujudkan kebaikan pada negara. Lawatan rasmi Perdana Menteri bersama-sama dengan Menteri Luar Negara, Dato\u2019 Seri Hishammuddin Tun Hussien berjaya menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MoU).\nAntaranya, Arab Saudi bersetuju untuk memberikan kuota tambahan haji pada Malaysia sebanyak 10 000 orang menjadikan kuota keseluruhan berjumlah 31 600\u00a0orang. Malaysia dan Arab Saudi juga bersetuju untuk menubuhkan Majlis Penyelarasan Arab Saudi-Malaysia. Penubuhan majlis ini bertujuan untuk membuka jalan bagi sebarang bentuk perundingan demi kepentingan bersama. Malaysia juga menjadi negara pertama yang disenaraikan dalam Inisiatif Perkhidmatan \u201cJalan Makkah\u201d bagi memudahkan prapelepasan jemaah haji dan umrah di Malaysia.\nMelewati perkara tersebut, sisi terpenting dalam lawatan ini memperlihatkan Malaysia berjaya memperluas pasaran minyak sawit negara yang kebelakangan ini menjadi satu \u201cmimpi ngeri\u201d pada kerajaan,\u00a0termasuklah peneroka FELDA. Malaysia bukan sahaja berjaya melobi Arab Saudi untuk meningkatkan import minyak kelapa sawit Malaysia daripada 318 000 tan yang bernilai RM 900 juta kepada 500 000 tan bernilai kira-kira 1 bilion, malah bakal membuka sebuah pejabat serantau di Jeddah, Arab Saudi dalam usaha memperkasakan lagi pasaran minyak sawit di Afrika dan Timur Tengah.\nMenyingkap kembali pada era Barisan Nasional (BN), industri minyak sawit negara pada waktu tersebut sememangnya sudah berada dalam keadaan tidak menentu. Dengan penurunan harga mendadak, peneroka FELDA mula mempamerkan karakter \u201chilang minat\u201d dengan BN, sehingga BN hilang beberapa kerusi Parlimen yang dominan di kawasan FELDA semasa PRU-14.\nSelepas PH mula berkuasa, keadaan ini tidak jua selesai. Bahkan, dikeruhkan lagi apabila kerajaan PH tidak mampu membentuk kitaran perhubungan kondusif dengan negara kuasa beli \u201cmega\u201d,\u00a0seperti India. Ditambah pula dengan sikap hipokrit Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat yang mengenakan sekatan import produk sawit dari Malaysia, industri sawit berterusan berada dalam keadaan tertekan.\nSecara relatifnya, kunjungan ini sedikit sebanyak melegakan industri sawit negara. Industri sawit di Malaysia bukanlah sektor yang calang-calang. Pada tahun 2020 sahaja, sektor ini mencatatkan jumlah eksport kira-kira RM45.66 bilion. Selepas kehilangan pasaran Amerika Syarikat dan Eropah, Arab Saudi berpotensi menjadi satu daripada prospek ekonomi yang setidak-tidaknya dapat meningkatkan permintaan industri minyak sawit negara.\nMengikut statistik import Arab Saudi pada tahun 2019, negara tersebut mencatatkan angka import yang besar bagi minyak sawit (A.S.$522 juta), jauh meninggalkan import minyak lain,\u00a0seperti minyak sayur (A.S.$125 juta), minyak zaitun (A.S.$104 juta), minyak kelapa (A.S.$44.8 juta), minyak kacang soya (A.S.$17.8 juta) dan minyak biji (seed oil) (A.S.$115 juta). Mengambil kira minat mereka terhadap minyak sawit, kunjungan Perdana Menteri baru-baru ini boleh dikatakan sebagai langkah kanan bagi memulihkan industri minyak sawit negara.\nMaka itu, bagi negara kecil seperti Malaysia, dasar berkecuali dan berbaik-baik dengan kesemua negara di peta global merupakan tindakan yang strategik dalam usaha menguruskan hal ehwal antarabangsa. Sebagaimana hubungan Malaysia dengan Arab Saudi, pembentukan kitaran hubungan bilateral yang erat sememangnya memberikan pelbagai manfaat, terutamanya dalam sektor ekonomi negara masing-masing." "Emas Pelaburan Jangka Panjang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSENARIO orang ramai berbaris menunggu giliran untuk masuk ke dalam kedai bukanlah satu situasi baharu dalam kalangan masyarakat hari ini memandangkan sejak pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia pada penghujung tahun 2019, masyarakat sudah biasa menjalani kehidupan dalam kebiasaan baharu, seperti beratur sebelum memasuki ke dalam sesebuah premis.\nJika sebelum pandemik melanda, orang ramai yang dilihat beratur di hadapan kedai sementara menunggu kedai tersebut dibuka lazimnya merupakan suasana di hadapan kedai menjual tudung. Hal ini disebabkan masing-masing ingin mendapatkan koleksi terkini yang dijual dalam kuantiti terhad. Sekiranya tidak beratur dan berbuat demikian, maka berputih matalah pengguna dan peminat tegar terhadap promosi atau produk terbaharu tersebut.\nBaru-baru ini seperti yang dilaporkan media, situasi (orang ramai berbaris di hadapan kedai) tersebut bukanlah berlaku di hadapan kedai menjual tudung tetapi berlaku di hadapan kedai menjual emas. Masing-masing menunggu giliran untuk masuk ke dalam kedai emas untuk membeli barangan kemas. Pada saat ketidakpastian keadaan ekonomi hari ini, orang ramai dilihat memilih untuk membeli emas, namun bukanlah semata-mata untuk dijadikan sebagai barangan perhiasan diri, malah mereka melihat emas sebagai pelaburan jangka panjang.\nUntuk tempoh yang panjang, nilai emas akan meningkat dan kalis inflasi dan tidak bersifat spekulatif sebagaimana pasaran saham, selain tidak mempunyai risiko kerugian apabila pasaran ekonomi terjejas. Statistik yang dikeluarkan baru-baru ini, menunjukkan antara Januari hingga April tahun lalu, harga emas meningkat sebanyak 18 peratus. Walau bagaimanapun, awal tahun ini harga emas dilihat jatuh dan harga jualan sekitar RM220 hingga RM250 segram.\nPenurunan harga emas yang dilihat mendadak ini disebabkan oleh pengumuman penemuan vaksin COVID-19 pada penghujung tahun lalu dan kebanyakan orang yang membeli emas mengandaikan emas sebagai aset selamat. Namun begitu, pakar ekonomi dan pelaburan berpendapat, apabila berita vaksin COVID-19 telah ditemui, ekonomi dunia akan kembali pulih seperti sedia kala.\nSebenarnya, jika dilihat dari segi pelaburan tempoh yang panjang, emas menunjukkan trend positif sejak 20 tahun lalu. Malah, dengan keadaan ekonomi semasa juga memperlihatkan emas sebagai satu pelaburan yang menjanjikan pulangan berbaloi. Emas kini menjadi satu daripada bentuk simpanan atau pelaburan tradisional yang terbaik. Pelabur moden turut memandang barangan kemas dan pembelian jongkong emas sebagai pelaburan yang mempunyai risiko minimum.\nPelaburan emas bukan sahaja dalam bentuk barangan kemas, malah didapati dalam bentuk dinar dan jongkong emas. Pelaburan emas dalam bentuk barangan kemas paling mudah menarik perhatian kaum hawa. Selain rekaan yang cantik dan menarik, barangan kemas turut berfungsi sebagai perhiasan, simpanan, pelaburan dan perniagaan.\nEmas juga merupakan pelaburan yang boleh keluar dan masuk pada bila-bila masa, selain mudah dicairkan. Hal ini bererti emas boleh dijual atau ditukarkan kepada wang ringgit dengan segera pada bila-bila masa pada saat pemiliknya kesempitan dan memerlukan wang tunai, seperti berlakunya kecemasan. Diakui harga emas tidak meningkat secara mendadak, tetapi nilainya sentiasa meningkat pada kadar yang stabil. Meskipun tidak menjamin pulangan wang yang berganda, tetapi nilai emas tidak mempunyai risiko kerugian apabila pasaran ekonomi terjejas.\nAntara kelebihan emas, termasuklah mempunyai fungsi lindung nilai tertentu dalam menghadapi krisis ekonomi, harga emas tidak berubah, kos transaksi yang rendah dan kecairan yang baik. Emas mempunyai atribut mata wang dan premium emas pelaburan fizikal adalah kecil dan dapat ditunaikan berdasarkan sebut harga pasaran masa nyata. Emas juga pastinya mempunyai nilai koleksi apabila bukan sahaja berfungsi sebagai perhiasan.\nSekiranya emas mempunyai kelebihan, tidak bermakna tiada kelemahannya apabila melibatkan pelaburan pokok yang besar dan modal tinggi. Pelaburan emas juga tidak memberikan faedah dan juga pendapatan apabila proses penyimpanan emas fizikal tidak mendatangkan pendapatan dan hanya boleh menunggu harga naik dan menjual untuk keuntungan, selain memerlukan simpanan fizikal dan insurans. Emas fizikal tidak mudah disimpan, dan ada risiko kecurian apabila disimpan di rumah. Pemilik perlu membayar yuran simpanan yang besar untuk menyimpannya di bank.\nHari ini, kesedaran dan maklum balas positif daripada rakyat Malaysia dalam hal berkaitan pengurusan pelaburan mulai dilihat. Begitu pun, dinasihatkan agar orang ramai yang ingin menyimpan barang kemas digalakkan memilih yang jenis padu dan emas 999 atau emas 916. Hindarkan daripada membeli emas yang mempunyai banyak batu permata dan emas putih. Hal ini demikian kerana susut nilainya boleh mencecah hingga 70 peratus." "Hala Tuju Ekonomi Pascavaksin COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada tanggal 24 Februari lalu, tercatatlah sejarah individu pertama yang berada di Malaysia diberikan suntikan vaksin COVID-19. Orang pertama ini tidak lain tidak bukan ialah Tan Sri Dato\u2019 Haji Muhyiddin Mohd. Yassin, Perdana Menteri Malaysia. Sudah lebih setahun pandemik COVID-19 melanda negara. Pada awalnya, rakyat tidak pernah terfikir kesannya terhadap keseluruhan kehidupan mereka. Pada kaca mata mereka, COVID-19 hanyalah sekadar virus biasa yang boleh ditangani dengan cepat. Itu kisah lebih setahun yang lalu. Namun begitu, hari demi hari, COVID-19 bukan sekadar virus tetapi semakin digeruni kerana mampu mengancam sesiapa sahaja terutamanya golongan yang sememangnya sedang mengalami pelbagai penyakit kronik.\nKesan pandemik ini amat besar. Bukan setakat mengubah cara hidup manusia yang gemar bersosial, malah memberikan impak besar terhadap ekonomi sesebuah negara. Bayangkan banyak perniagaan jatuh muflis dan sedang nazak kerana tidak mampu lagi bertahan yang bukan disebabkan oleh persaingan, tetapi akibat virus yang tidak mampu dilihat oleh pandangan mata kasar manusia. Ramai yang dibuang kerja bukan kerana prestasi kerja yang teruk, namun disebabkan oleh prestasi organisasi dan perniagaan yang merudum. Amat jelas organisasi tidak mampu bertahan, bahkan banyak negara telah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi masing-masing untuk memastikan ekonomi negara mereka dapat bertahan dan pada masa yang sama membantu rakyat yang cukup terkesan dengan pandemik ini.\nDi Malaysia, pelbagai pakej rangsangan diumumkan oleh kerajaan untuk membantu perniagaan, syarikat dan pastinya terhadap rakyat yang terkesan. Inilah kesan ekonomi paling teruk buat negara dan rakyat Malaysia sejak negara mencapai kemerdekaan disebabkan oleh faktor kesihatan. Oleh hal yang demikian, apabila vaksin COVID-19 mula berada di Malaysia pada bulan Februari yang lalu, keadaan ini pastinya membawa harapan buat negara dan rakyat untuk pulih dan bangkit semula untuk maju ke hadapan.\nDengan adanya vaksin COVID-19 untuk kegunaan penduduk dunia termasuklah Malaysia, dijangkakan pandemik COVID-19 ini akan berakhir pada tahun 2022. Menurut laporan media, Pengarah Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Eropah, Dr. Hans Kluge, meramalkan pandemik COVID-19 akan berakhir pada awal tahun 2022. Hal ini merupakan satu ramalan yang memberikan harapan kepada penduduk dunia termasuklah rakyat Malaysia.\nMeskipun ada yang meramalkan Malaysia akan mengalami perkembangan ekonomi yang semakin buruk pada tahun ini, namun kelihatan beberapa petanda awal ekonomi \u00a0negara yang mula beransur pulih. Misalnya, harga minyak global semakin meningkat dan mata wang Ringgit Malaysia juga semakin mengukuh. Bagi golongan konservatif, mungkin petanda ini masih belum cukup menandakan ekonomi Malaysia semakin pulih. Benar, ekonomi Malaysia masih belum menunjukkan sepenuhnya tanda pemulihan. Terlalu awal untuk menjangkakan ekonomi Malaysia akan kembali pulih pada tahun ini. Lebih banyak petanda perlu jelas kelihatan, terutamanya ekonomi Malaysia berkait rapat dengan ekonomi dunia.\nApakah hala tuju ekonomi Malaysia pascavaksin COVID-19?\u00a0 Berpaksikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), hala tuju ekonomi Malaysia pascavaksin COVID-19 perlu sentiasa diberikan nafas baharu agar WKB2030 mampu dicapai pada tahun 2030.\u00a0 Pendekatan yang mapan dan berkesan serta menyeluruh untuk memulihkan semula sektor ekonomi yang terkesan, seperti pelancongan amatlah diperlukan. Situasi ini memerlukan kerjasama rapat antara semua agensi kerajaan, sektor swasta dan juga pastinya rakyat Malaysia itu sendiri. Bukan setakat strategi yang dirancang oleh kerajaan, namun\u00a0 dari segi keberkesanan pelbagai strategi yang sedang dan akan dilaksanakan kelak.\nEkonomi Malaysia perlu diselaraskan berdasarkan situasi yang telah dan sedang berlaku di Malaysia dan seluruh dunia, misalnya impak teknologi terkini yang mula memberikan kesan dalam kehidupan manusia. Tidak hanya melihat pandemik COVID-19 sebagai satu ancaman atau risiko yang negatif dalam kehidupan manusia, tetapi mengambil peluang daripada sebuah krisis kesihatan yang begitu dahsyat ini.\nKerjasama antara semua pihak sangat penting dalam menentukan hala tuju ekonomi Malaysia pascavaksin COVID-19. Semua pihak sudah menerima bahawa pandemik COVID-19 merupakan sebahagian daripada kehidupan mereka. Kini, setiap daripada rakyat Malaysia perlu menjadikan pandemik COVID-19 sebagai satu iktibar dan pengalaman untuk menghadapi masa hadapan. Meskipun dikatakan pandemik COVID-19 mula dapat dikawal pada tahun ini berbanding dengan tahun lalu, namun tiada sesiapa pun dapat menjangkakan kesudahan kisah virus ini pada masa akan datang. Vaksin COVID-19 merupakan sebahagian daripada strategi yang perlu diselaraskan dengan pelbagai strategi lain untuk menentukan hala tuju ekonomi Malaysia agar pulih dan bangkit sepenuhnya, sekali gus menjadikan ekonomi Malaysia kembali berada pada landasan yang sewajarnya demi kemakmuran dan kesejahteraan buat negara dan rakyat Malaysia." "Trend Perniagaan Secara dalam Talian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Hanya Harga RON97 Meningkat, Lain Kekal\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPUTRAJAYA, 31 Mac 2021 \u2013 Demi memastikan kelangsungan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terjaga dan terpelihara, kerajaan akan sentiasa cakna terhadap pemantauan kesan perubahan harga minyak mentah dunia dari semasa ke semasa.\nDalam kenyataan pada hari ini, perubahan hanya dilakukan pada harga petrol RON97, iaitu meningkatkan sebanyak 2 sen seliter. Walau bagaimanapun, harga runcit petrol RON95 dan diesel masih kekal, iaitu RM2.05 dan RM2.15 seliter, masing-masing.\nBagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan.\nKementerian Kewangan Malaysia memaklumkan bahawa harga runcit produk petroleum bagi tempoh 1 April 2021 hingga 7 April 2021 dilaksanakan berdasarkan penetapan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) secara mingguan." "Perkukuhkan Jati Diri Bahasa dan Budaya Melayu dalam Pascapandemik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nIndonesia \u2212Bahasa dan budaya merupakan elemen penting untuk sesebuah negara mencapai pembangunan negara yang mapan. Bagi negara Indonesia, Malaysia dan Thailand, bahasa dan budaya Melayu merupakan wadah untuk menyatupadukan masyarakat. Secara empirikalnya, peranan bahasa dan budaya Melayu dapat dimantapkan bagi tujuan perpaduan kaum dan pembangunan negara yang memerlukan iltizam dan komitmen yang jitu daripada pelbagai pihak. Namun begitu, bagaimanakah hala tuju bahasa dan budaya Melayu dalam pascapandemik ini?\nSatu perkara yang pasti, dengan amalan penjarakan fizikal, interaksi sesama manusia perlu dieratkan lagi melalui bahasa sebagai wahana komunikasi masyarakat. Hasilnya, tiada siapa yang menduga bahawa sejenis virus akan menjadi pemangkin dalam perubahan paradigma dan amalan dalam pengekalan jati diri bahasa dan budaya Melayu di ketiga-tiga buah negara tersebut.\nSehubungan dengan itu, atas kesedaran ini, Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) telah menganjurkan Program Webinar Internasional Bahasa dan Budaya Lintas Ilmu dengan tema \u201cPeran Bahasa dan Budaya Melayu untuk Pemertahanan Bangsa Pasca Pandemi\u201d, yang menampilkan para pembicara dari Indonesia, Malaysia dan Thailand. Program tersebut membincangkan tentang arah tuju bahasa dan budaya Melayu dalam pascapandemik dan bersiaran secara langsung pada pukul 10.30 pagi tadi menerusi Virtual Meeting Zoom.\nMenurut Profesor Dr. Hasanuddin W.S.M. Hurm, dari Kepala Pusat Humaniara dan Guru Besar, Universitas Negeri Padang, sastera Indonesia ialah sastera yang menggunakan bahasa Indonesia yang asalnya ialah bahasa Melayu. Ketahanan diri dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam pandemik akan dapat mempertahankan juga citra bahasa Melayu yang memiliki satu nilai yang dapat menyatukan bangsa.\nSastera di dunia ini sama, iaitu mempersoalkan tentang hal yang berkaitan dengan kemanusiaan. Maka itu, di dalamnya terdapat nilai moral, agama dan budaya yang disampaikan kepada masyarakat melalui perantaraan bahasa. Karya teks sastera Indonesia merangkumi semua jenis teks sastera dalam bahasa Indonesia sebagai mediumnya dan ditulis oleh warganegara Indonesia. Suatu teks Indonesia diciptakan bukan sekadar membincangkan tentang persoalan estetika semata-mata tetapi berkaitan juga dengan sosial, budaya dan politik semasa. Sastera juga mampu mengulas isu yang berkaitan dengan masalah kebangsaan, peradaban dan memberikan alternatif fikiran atas fenomena kebudayaan.\nSementara itu, Profesor Dr. Dadang S. Anshari, M.Si, Guru Besar Bidang Pendidikan, Wacana UPI Bandung pula berkata bahawa bahasa dapat ditinjau dari perspektif politik dalam pascapandemik.\nHubungan antara bahasa dengan politik amat erat. Politik bahasa berkait rapat dengan penyatuan masyarakat berbilang bangsa. Kecerdasan pendiri bahasa ini dibuktikan dengan usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai citra bahasa Indonesia. Para pencinta bahasa ini memilih bahasa yang tepat sebagai bahasa Indonesia dalam memasyarakatkan bangsa Indonesia kerana bahasa Melayu merupakan bahasa yang indah.\nProfesor Madya Dr. Samsudin Suhaili, dari Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris Malaysia (UPSI) pula membincangkan tentang budaya Melayu dalam konteks kekinian di Malaysia dalam pascapandemik. Perubahan itu terjadi akibat perubahan struktur dan fungsi masyarakat serta hasil daripada hubungan sosial dalam masyarakat.\nSantun bahasa dan nilai kesopanan kian luntur dan identiti bangsa tercalar akibat perubahan ini. Hal ini juga disebabkan oleh budaya material yang mengatasi minda merdeka dalam kalangan masyarakat Melayu khasnya dan masyarakat Malaysia umumnya. Kesan daripada virus Corona pula menyebabkan nilai kemanusiaan mempengaruhi akal budi dalam gaya hidup masyarakat. Hal ini menimbulkan kerisauan yang akan mempengaruhi generasi akan datang. Sehubungan dengan itu, masyarakat disarankan untuk mengembalikan citra sebenar masyarakat Melayu melalui nilai akal budi, imej dan maruah, kelangsungan hidup dan ekonomi serta mengembalikan semula identiti bangsa yang dibanggakan sebagai masyarakat Timur yang bercitra dan bermaruah tinggi.\nMenurut Profesor Madya Dr. Suraiya Chapakiya, dari Pusat Kajian Tamadun Melayu Islam (PUSTANI), Universiti Fatoni Thailand, sesuai dengan keadaan semasa, perkembangan bahasa dan budaya Melayu di Thailand dapat dilihat dalam bidang pendidikan, ekonomi dan politik. Peranan bahasa Melayu sangat penting dalam institusi pendidikan. Berdasarkan analisis umum dan pemerhatian yang dilakukan, terdapat empat bentuk perkembangan bahasa dan budaya Melayu dalam pendidikan di Selatan Thailand, iaitu pendidikan pondok, sekolah Melayu, sekolah agama swasta dan institusi pengajian tinggi.\nSelain itu, dalam bidang ekonomi, bahasa juga boleh dipandang sebagai pelaris perniagaan, iaitu merujuk kaedah penggunaan bahasa oleh para peniaga dalam usaha mereka mempengaruhi bakal pengguna atau pembeli untuk melariskan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Dalam bidang media massa pula, bahasa dan budaya Melayu memainkan peranan yang penting bagi masyarakat Thailand. Kini, stesen radio bahasa Melayu kerajaan hanya ada stesen Radio Thailand Yala bagi mewakili tiga wilayah, iaitu wilayah Yala, Narathiwat dan Pattani (siaran radio 24 jam dan siaran langsung melalui Facebook). Selain itu, terdapat juga Stesen Komuniti Sendirian Berhad sebanyak 20 stesen lebih di selatan Thailand.\nDemikianlah antara penerangan menarik daripada para pembicara dari Indonesia, Malaysia dan Thailand, termasuklah panel dari Pusat Tarekat Naasyabaridiyyah, UMSU, iaitu Dr. Zikmal Fuad, M.A., yang membincangkan tentang peranan bahasa dalam menyampaikan maklumat yang berkaitan dengan keagamaan kepada masyarakat dalam pascapandemik." "OUB Kay Hian: Firma Perancang Kewangan Terkemuka di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMeskipun menuju tahun 2021, kadar muflis dalam kalangan rakyat di negara ini dijangka terus meningkat saban hari. Perbelanjaan isi rumah didapati melebihi daripada jumlah pendapatan individu. Di tengah-tengah prospek ketidaktentuan sumber pendapatan, gambaran angka pengangguran dilihat semakin membimbangkan apabila mencecah sehingga 4.7 peratus. Hal ini menunjukkan bahawa lebih daripada 700 000 orang dibebani dengan komitmen hutang.\nMasalah muflis dan kelemahan pengurusan kewangan menjadi isu polemik sejak kebelakangan ini. Kadar keberhutangan rakyat kian meningkat. Percaya atau tidak, di Malaysia, individu yang baru berusia 18 tahun sudah diisytiharkan sebagai muflis akibat kegagalan menguruskan kewangan dengan baik. Berdasarkan Pantauan Ekonomi Malaysia oleh Bank Dunia pada tahun 2019, sebanyak 60 peratus kumpulan individu muflis yang tertinggi ialah golongan belia, iaitu antara 25 tahun hingga 44 tahun.\nTindakan berbelanja mengikut \u201ckehendak\u201d berbanding dengan \u201ckeperluan\u201d hakikatnya bukanlah suatu pelaburan kewangan yang bijak, terutamanya individu yang berpendapatan kecil, perbelanjaan tidak teratur dan kurangnya motivasi dan disiplin yang tinggi. Tamparan ini mulai terasa apabila negara atau cara hidup yang di luar jangkaan berlaku dalam tempoh yang berpanjangan, seperti krisis pandemik COVID-19 dan perkembangan\nlandskap kewangan secara digital. Perubahan landskap yang berubah-ubah dan keperluan pengguna yang semakin kompleks memerlukan literasi dan kemahiran pengurusan kewangan yang lebih sistematik.\nOleh itu, pengenalan pengantara profesional seperti penasihat atau perancang kewangan sangat diperlukan untuk membangunkan sesuatu produk atau perkhidmatan, serta perancangan kewangan, khususnya yang melibatkan aliran kewangan. Seperti yang disarankan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Pelan Induk Sektor Kewangan, perancang kewangan yang bertauliah dan berlesen adalah sangat penting bagi mencapai keseimbangan kewangan individu dan syarikat, seterusnya\nmenyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mapan.\nSecara umumnya, perancang kewangan ialah entiti profesional yang bertanggungjawab menyediakan khidmat nasihat kewangan secara holistik kepada pengguna, termasuklah aliran tunai, pengurusan hutang, perlindungan risiko (insurans dan takaful), simpanan pendidikan, pelaburan masa hadapan, percukaian dan zakat, perancangan persaraan dan pengurusan estet. Langkah penjimatan dan perancangan kewangan yang signifikan berupaya menjaminkan kesejahteraan hidup dan melahirkan rakyat yang berdaya saing, serta merancakkan ekonomi industri negara.\n\nLatar Belakang Pendidikan\nSekolah Menengah\n1. Sekolah Menengah Confucius, Kuala Lumpur (Tingkatan 1\u20133).\n2. Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan Pahang\n(Tingkatan 4\u20135). (Sekolah berasrama kebangsaan di bawah pengaturan Kementerian Pelajaran Malaysia kerana mendapat keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang sangat cemerlang, dan merupakan satu-satunya lelaki Cina di peringkat atas).\nObjektif UOBKHW\nTentang UOBKHWA\nDalam membuat perancangan kewangan, penasihat atau perancang kewangan yang baik dapat membantu seseorang individu atau sesebuah syarikat mencapai kecemerlangan yang signifikan. Persepsi ini merupakan suatu kunci kejayaan dalam merancang kewangan yang kukuh dan sesuai\u00a0diaplikasikan oleh semua lapisan masyarakat, terutamanya pelabur kali pertama, individu yang bekerja sendiri merancang persaraan kelak, atau pemilik perniagaan.\nBegitulah fungsi dan matlamat penubuhan UOB Kay Hian Wealth Advisor Sdn. Bhd. (UOBKHWA) sebagai sebuah firma perancang kewangan terkemuka di Malaysia, berikutan pengambilalihan \u00a0Standard Financial Adviser Sdn. Bhd. oleh UOB Kay Hian Securities pada 2 Mei 2020. Pengambilalihan ini bertujuan untuk meletakkan satu penanda aras baharu dalam industri perancang kewangan untuk mewujudkan kepelbagaian produk, perkhidmatan, serta sokongan kepada semua pihak. UOBKHWA ini turut disokong oleh kumpulan kewangan tersenarai dalam bursa Singapura (SGX) terkemuka di serantau Asia Tenggara.\n\u201cSebahagian daripada komitmen UOBKHWA ialah memberikan perkhidmatan yang berkualiti melalui penyediaan pelan panduan untuk memberikan gambaran keseluruhan bagi mencapai sasaran kewangan dan keperluan pelanggan. Semua orang mempunyai hak untuk mendapatkan nasihat kewangan yang telus tanpa mengira status sosial. Setiap individu mempunyai keperluan kewangan yang unik. Bagi saya, tiada istilah one size fits all\u00a0dalam perancangan kewangan,\u201d jelas Alvin Tan selaku Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif UOBKHWA ketika diwawancara oleh sidang editor Dewan Ekonomi.\nSecara umumnya, UOBKHWA memiliki Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal (eCMSL/A0361/2020) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk menjalankan aktiviti berkaitan dengan perancangan kewangan, urus niaga dalam sekuriti yang terhad kepada unit amanah dan urus niaga dalam Skim Persaraan Swasta (PRS) di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Lebih meyakinkan pelanggan, UOBKHWA juga mendapat kelulusan dari Bank Negara Malaysia di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 sebagai Penasihat Kewangan (FA) dan Penasihat Kewangan Islam (IFA).\nJadual 1 Pasaran sasaran UOBKHWA dalam penyediaan perancangan kewangan.\n\n\nDi Malaysia, terdapat pelbagai firma perancang kewangan, namun pelanggan atau pengguna perlulah bijak untuk mengenal pasti perkhidmatan dan saluran mana yang tepat bagi mengelak diri daripada tertipu atau terpedaya dengan sindiket \u201cpenasihat kewangan\u201d, misalnya skim cepat kaya.\nUOBKHWA, pada awalnya dikenali sebagai StandardFA dan telah dianugerahkan sebagai jenama Penasihat Kewangan Terbaik Malaysia dari tahun 2014 hingga tahun 2018 secara berturut-turut. Rakan kerjasama produk kewangan yang berganding dengan UOBKHWA menjadi kekuatan berbanding dengan firma lain.\nMenurut Alvin Tan, pelabur harus berhati-hati apabila mereka dijanjikan dengan keuntungan yang tidak munasabah seperti memperoleh pulangan yang tinggi dalam tempoh yang singkat tanpa memerlukan kerja keras untuk berjaya. Pada kebiasaannya, sasaran \u201cpenasihat kewangan\u201d ini ialah golongan muda dan individu yang kurang pendedahan terhadap literasi kewangan. Mereka akan menarik perhatian pelabur dengan memfokuskan kepada keuntungan yang tinggi. Sedar atau tidak, sekiranya ada yang terpedaya dengan \u201cpenasihat kewangan\u201d ini, kemungkinan besar simpanan atau wang pelaburan mereka akan terjejas, malah menimbulkan pelbagai masalah sosial.\nPada sudut ekonomi, pelaburan saham hakikatnya merupakan satu daripada instrumen yang terbukti boleh mengembangkan pendapatan individu dan syarikat. Sebagai contohnya, Bill Gates, Jeff Bazos dan Bernard Arnault,\niaitu usahawan yang terkaya di dunia juga dipercayai sebahagian besar kekayaan mereka diperoleh daripada pelaburan saham dalam syarikat.\nNamun begitu, ada sesetengah pihak sanggup mengambil jalan pintas dengan memilih platform yang salah, seperti terlibat dalam skim cepat kaya, berhutang, berbelanja dengan menggunakan kad kredit secara boros, semata-mata untuk menyelesaikan masalah kewangan dengan lebih cepat dan mudah tanpa memikirkan risiko akan datang. Hal ini dipandang serius apabila kegagalan pengurusan kewangan memberikan kesan negatif bukan sahaja terhadap aspek sosiomasyarakat, malah berpotensi merencatkan pertumbuhan ekonomi negara.\nOleh itu, UOBKHWA mengambil pendekatan dengan melakukan pelbagai\naktiviti kemasyarakatan, seperti webinar, bagi memupuk kesedaran akan pentingnya perancangan dan pengurusan kewangan yang sistematik sebagai bekalan saraan hidup pada akan datang. Teknik dan pendedahan tentang literasi kewangan secara terperinci adalah sangat penting untuk memberikan mereka ketenangan fikiran dan keyakinan tentang masa depan\nkewangan mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana keperluan untuk\nmendapatkan perkhidmatan nasihat kewangan secara berkala juga penting bagi memastikan pelaburan kewangan atau perniagaan sentiasa berada dalam keadaan stabil dan kekal relevan.\nYang menariknya UOBKHWA, firma ini sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan perancang kewangan kepada pelanggannya secara komprehensif tanpa cenderung (bias) pada mana-mana syarikat atau produk tertentu sahaja, serta tidak meraih keuntungan semata-mata. Perubahan harga dalam pelaburan kebiasaannya dipengaruhi oleh permintaan dan penawaran. Oleh sebab itu, setiap keputusan yang diberikan daripada mereka kesemuanya berasaskan fakta, malah memberikan manfaat kepada setiap pelabur mereka.\nKami bergerak menuju penjajaran kehendak pelanggan. Daripada hanya menukarkan dana untuk mendapatkan komisen, objektif utama sekarang adalah untuk membantu pelanggan meningkatkan nilai aset mereka,\u201d ujar Alvin Tan dalam meyakinkan perkhidmatan dan produk UOBKHWA sebagai firma yang bertauliah.\nMenurut Alvin Tan, setiap individu perlu menyimpan sebanyak empat hingga enam bulan gaji mengikut saiz isi rumah. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melaporkan lebih daripada separuh rakyat Malaysia menghadapi kesukaran untuk menyediakan RM1000 sekiranya berlaku kecemasan. Tanpa disedari, rata-rata rakyat kini sebenarnya tidak mempunyai simpanan kecemasan yang mencukupi kerana menanggung pelbagai komitmen seperti kadar keberhutangan yang tinggi dan pelbagai komitmen lain.\nSeiring dengan perkembangan ekonomi yang mapan, UOBKHWA sentiasa merancang, mengkaji dan mengambil peluang dalam aliran ekonomi negara agar kekal kukuh pada peringkat global. Kini, UOBKHWA mempunyai 16 pejabat di seluruh negara di bawah UOB Kay Hian Securities, dan disertakan perancang kewangan di setiap pejabat tersebut. Selain itu, program Advisor Enterpreneur Start-up (AES) turut diperkenalkan untuk membantu usahawan baharu dalam industri perancangan kewangan yang tidak\nberpengalaman untuk memulakannya, dan masih memerlukan pendapatan tetap (contohnya pekerja bank).\nIroninya, pendedahan berkaitan dengan literasi kewangan dan perkembangan teknologi semasa perlu diketahui oleh seseorang atau\npemain industri. Dengan adanya ilmu pengurusan dan perancangan kewangan yang kuat, kejayaan mengukuhkan aliran kewangan dapat direalisasikan, dan seterusnya secara tidak langsung dapat mencapai keseimbangan ekonomi negara setanding dengan negara maju." "Malaysia Kekal Peneraju Pasaran Sukuk Global yang Terbesar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSusunan oleh: Fatin Syazana Zulkafali\n\nMeskipun seantero dunia berhadapan dengan kemelut ekonomi rentetan penularan wabak COVID-19, Malaysia berjaya mendominasi pasaran sukuk global pada tahun 2020 dengan menguasai 39.2 peratus bahagian pasaran.\nMenurut RAM Rating Services Bhd. (RAM Ratings), terbitan sukuk global menunjukkan peningkatan 16.8 peratus, iaitu A.S.$152.6 bilion (AS$1=RM4.14) pada tahun lepas berbanding dengan A.S.$130.6 bilion pada tahun 2019.\n\u201cPasaran sukuk terbesar selepas Malaysia ialah Arab Saudi dan Indonesia, masing-masing pada 20.4 peratus dan 17.5 peratus. Secara kolektifnya, pasaran ini mampu menyumbang sebanyak 77.1 peratus pada terbitan sukuk global\u201c, katanya dalam laporan Sukuk Snapshot.\nImpak penularan COVID-19 menyaksikan terbitan kukuh daripada negara di dunia pada tahun 2020 untuk membiayai pakej rangsangan bagi menyokong ekonomi yang terjejas akibat pandemik itu. Pertumbuhan ekonomi tempatan disokong oleh dasar monetari yang menyokong dan perbelanjaan kukuh kerajaan.\n\u201cHasilnya, terbitan kerajaan meningkat 9.2 peratus dari tahun ke tahun kepada A.S.$87.5 bilion pada tahun 2020 berbanding dengan A.S.$80.1 bilion pada tahun 2019,\u201d katanya.\nTerbitan utama mencatatkan Malaysia menguasai 28.2 peratus (A.S.$24.6 bilion), Indonesia dengan 29.9 peratus (A.S.$26.2 bilion) dan Arab Saudi dengan 20.7 peratus (A.S.$18.1 bilion) daripada bahagian pasaran tersebut. Hal ini menunjukkan ketiga-tiga negara ini telah menyumbang lebih dua pertiga daripada terbitan kerajaan global pada tahun 2020." "Psikologi Penjenamaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nProses penjenamaan merupakan sebahagian enjin psikologi tersembunyi yang dapat menjana ekonomi, selain berfungsi sebagai \u201csistem simbol\u201d politik neoliberalisme yang dominan pada hari ini dan pemesongan secara global yang semakin meningkat dan berkembang. Jenama amat relevan apabila memahami isu\u00a0berkaitan dengan\u00a0budaya kerana perkara ini \u201cmencerminkan\u201d jiwa kolektif dan mempunyai maklumat tersembunyi mengenai keghairahan sesuatu budaya.\nDari sudut etimologi, perkataan brand\u00a0(jenama) diambil daripada Old Norse, bahasa Viking yang dipertuturkan di negara\u00a0Scandinavia hingga abad ke-14, iaitu brand\u00a0bererti to burn\u00a0(untuk membakar). Kemudian perkataan ini digunakan untuk proses menandai haiwan, penjenayah dan hamba abdi dengan menggunakan besi panas.\nBerbicara dari sudut psikoanalitik, jenama ialah \u201cimago\u201d, iaitu imej yang mewakili psikologi; gabungan bagi kaitan, imej dan impian seseorang mengenai sesuatu produk, individu atau pengalaman. Namun\u00a0begitu, untuk memberikan\u00a0kredit kepada mereka yang masih menyamakan sesuatu jenama dengan logonya, sememangnya bermula di sana. Penjenamaan telah melalui proses perkembangan dalam khidmatnya yang berusia seabad pada ekonomi negara dan boleh dibahagikan kepada tiga era, iaitu logo, ero dan mitos.\nPenggunaan penjenamaan\u00a0bermula pada pertengahan abad ke-19 di Amerika; semasa kebanyakan orang masih mendefinisikan siapa diri mereka melalui perkara\u00a0yang dihasilkan, bukan sesuatu perkara yang digunakan oleh mereka. Pada ketika itu, jenama hanya berbentuk\u00a0logo. Peranannya dalam ekonomi menggambarkan kualiti, untuk membezakan suatu produk daripada pesaing dan digunakan untuk meningkatkan nama syarikat kepada pengeluar. Produk dalam era \u201clogo\u201d ini tidak mempunyai identiti sebenar kerana pengambilan masih membabitkan keperluan, bukan kemahuan.\nTahun\u00a0awal penjenamaan\u00a0bermula pada pertengahan tahun 1950-an dengan perubahan daripada masyarakat pengeluar tradisional kepada pengguna era moden. Mitos pengguna yang masih dipakai sehingga sekarang \u2013 bahawa penawaran didorong oleh permintaan pengguna, bahawa pasaran menghasilkan barangan yang diingini oleh pengguna \u2013 dibina atas janji palsu. Penawaran jauh melebihi permintaan selepas Perang Dunia kedua apabila pengubahsuaian yang ekstrem mula menukar barangan tidak berupaya kepada jenama dan masyarakat pengeluar menjadi pengguna.\nPerkataan \u201cmengguna\u201d berakar umbi dari sudut etimologi pada abad ke-15 di Perancis apabila perkataan consumere\u00a0bererti \u201cuntuk mengguna, makan, menghasilkan buangan\u201d. Pengguna merupakan seseorang yang \u201cmengguna dengan boros atau membazir\u201d dalam \u201csecara menjarah, mencuri atau merampas.\u201d Perkataan itu mempunyai konotasi agak negatif, misalnya perkataan lama untuk tuberkulosis ialah\u00a0consumption\u00a0(penggunaan).\nMenurut ahli ekonomi, Victor Lebow pada tahun 1955, ekonomi negara kita yang sangat produktif ini menuntut agar rakyat menggunakan cara hidup tersendiri suapay budaya ini dapat menukar kaedah membeli dan mengguna barangan menjadi suatu ritual, untuk mencari kepuasan dan ego kepuasan dalam penggunaan.\u00a0Dalam kajian yang dilakukan, didapati bahawa\u00a0kejayaan masyarakat pengguna yang muncul pada ketika itu tidak bergantung pada kualiti produk, tetapi datangnya dari syarikat ataupun perbadanan yang mampu membentuk pengguna dengan kaedah psikologi yang khusus.\nPengiklanan dalam era ini sedikit demi sedikit berubah daripada memberikan\u00a0penekanan kepada ciri produk menerusi salin cetak berasaskan teks kepada memberikan\u00a0penekanan kepada kepuasan emosi melalui pembelian yang dibuat. Kesemua ini dicapai menerusi penggunaan imaginasi dan dengan merangsang perasaan di luar kesedaran, sering tersembunyi, iaitu kemahuan.\nTeori psikoanalitik mengajar syarikat\u00a0bahawa pengguna bukan sahaja rasional,\u00a0tetapi tidak bersikap waras dalam tindakan mereka; sering digerakkan oleh keinginan tanpa disedari dalam mencari keseronokan dan kepuasan diri. Keinginan yang alasannya bukanlah merealisasikan matlamat kepuasannya, untuk menghasilkan berulang kali tanpa henti sebagai keinginan.\nSyarikat mula melabur lebih banyak modal dalam reka bentuk imej untuk produk mereka. Identiti contoh teladan, termasuklah mengenai perkara yang pengguna inginkan, tetapi kadangkala kekangan dalam diri mereka, kini mudah terdapat di pasaran \u2013 dengan tanda harga.\u00a0Sejak itu, jenama dan penjenamaan telah berkembang untuk disesuaikan dengan paradigma pascamoden masa kini. Identiti pasca moden dilihat sebagai terbentuk secara individu dalam proses reflektif dan dinamik secara berterusan dengan persekitaran individu. Tidak ada sesuatu yang tetap dengan keadaan asyik berubah. Projek terapeutik mandiri, mencari \u201cpengalaman puncak\u201d menjadi projek kehidupan bagi warga sekular pasca moden.\nPeranan jenama dalam dunia mitos baharu ini bukan lagi sekadar memuaskan keinginan menjadi barangan, tetapi lebih kepada membentuk naratif, kisah, mitologi dan gaya hidup yang dicari oleh manusia dalam usaha mengawal dan memberikan makna dalam kehidupan pengguna.\u00a0Menerusi proses perkembangan logo,\u00a0mitos ini, jenama telah memindah peranannya daripada membantu syarikat mengenali produk mereka kepada membantu pengguna dalam membentuk identiti diri mereka.\u00a0 Kini, terdapat sesuatu perkara yang boleh dilakukan untuk memahami jenama sebagai perkara yang rumit dan memaparkan hipotesis bahawa dimensi pascamoden bagi \u201cmitos\u201d mungkin tidak menuju kepada \u201cutopia jenama\u201d,\u00a0tetapi lebih kepada kompleks pengguna kontemporari \u2013 neorosis jenama yang membentuk sikap obsesi.\nObsesi disifatkan sebagai sikap neurosis yang lemas atau terkunci dalam perilaku tidak semula jadi dan kompleksiti emosi. Obsesi membajai pengertian yang tidak mencerminkan kasih sayang, tidak ada perasaan belas kasihan dan bersifat agresif. Namun begitu, obsesi dalam kamus atau jurnal fesyen pula ialah keterujaan dan simbol status. Jenama\u00a0fesyen mengutip konsep obsesi sebagai strategi pemasaran. Mereka menunggang atas obsesi atau sifat taasub orang untuk merangkul keuntungan serta kepentingan sendiri.\nSesetengah jenama fesyen menukar tahap kematangan tanggapan kita fasal obsesi, yang lazimnya bersendikan kenegatifan kepada paradigma yang mencadangkan ketaasuban itu adalah \u201cmesti ada\u201d, kesungguhan hati untuk memiliki sesuatu benda dan untuk keluasan diri.\u00a0Michael R.Solomon ada menyimpulkan beberapa dimensi keburukan tingkah laku pengguna ketika proses pembelian dalam bukunya Consumer Behaviour:\u00a0Fourth Edition. Antaranya termasuklah, compulsive consumption\u00a0yang terarah kepada dorongan nafsu. Lantaran itu, jenama fesyen memupuk satu pandangan yang manusia (pembeli) seperti kurang sesuatu dan selepas pemilikan sesuatu benda itu, menerbitkan keeksklusifan \u2013 kiranya wujud tanggapan bahawa\u00a0antara beribu atau berjuta, pembeli tersebut mempunyai item yang tidak semua orang ada.\nBarangkali inilah strategi yang digunakan oleh Margiela.\u00a0Margiela dan Reebok berpadu tenaga menghasilkan Insta Pump yang digabungkan dengan kasut. Tekaan awal, Margiela mahu menghimpunkan gerombolan obsesi Reebok Insta Pump untuk memusatkan niat untuk membeli rangkaian kolaborasi ini? Atau seperti yang dibudayakan oleh Daniel Lee di Bottega Veneta. Menghasilkan gerombolan masa kini yang taasub dengan hasil-hasilannya?\nKesannya kelak melibatkan pengguna itu sendiri. Yang membangkit satu lagi persoalan, apakah obsesi itu sebenarnya ego? Seperti mana diolah oleh pakar psikologi Abraham Maslow menerusi hierarki keperluan manusia yang memperlihatkan ego dan mungkin itu yang mendasari konsep obsesi?\nAkhirnya, pengguna tidak dapat mengimbangi lagi antara keperluan atau kehendak. Yang manakah satu? Seperti yang dinyatakan, obsesi dalam kamus fesyen menentang kenegatifan. Namun begitu, dalam fahaman psikologi pula tidak mencerminkan apa-apa yang bersifat positif. Ada sebilangan yang memandang obsesi terhadap sesuatu jenama atau produk itu seperti satu pelaburan yang tinggi potensinya." "Kelestarian Ekonomi Masyarakat di Kelantan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRata-rata kehidupan masyarakat Kelantan bergantung pada aktiviti pertanian secara kecil-kecilan. Keadaan inilah yang menyebabkan rakyatnya lebih tahan lasak dan inovatif dalam mencari sumber pendapatan, di samping menggunakan beberapa inovasi untuk memastikan kelangsungan hidup. Satu daripada pendekatan yang ambil ialah mengamalkan konsep kelestarian ekonomi dalam meneruskan kehidupan harian. Konsep ini berkaitan dengan cara seseorang dapat mengimbangi pendapatan dengan perbelanjaan untuk memastikan aktiviti harian dan kehidupan tidak terjejas atau dengan erti kata lain mampu menjalani kehidupan seperti orang lain yang berkemampuan.\nMasyarakat di Kelantan sangat lestari dari segi pengurusan ekonomi isi rumah, \u00a0kerana kebiasaannya rakyatnya mempunyai tanah yang terhad,\u00a0sama ada di belakang atau di sekeliling rumah. Oleh itu, dengan\u00a0sekeping tanah yang diperoleh, mereka akan pastikan ada rumah\u00a0dan makanan, seperti sayuran dan pokok buah-buahan yang ditanam sendiri, malah mempunyai telaga untuk sumber air, serta mempunyai reban ayam untuk sumber protein.\nSedikit kawasan lapang ini dimanfaatkan oleh mereka untuk tujuan penanaman sayuran dan ulaman bagi kegunaan harian dan sekiranya terdapat lebihan, maka hasil tersebut boleh dijual. Jenis ulaman dan sayuran yang biasa ditanam ialah limau nipis, bunga kantan, kacang bendi, peria katak, terung bulat, kacang panjang, ketumbar, daun bawang, halia, lengkuas, kunyit, serai, kucai, limau purut dan cili padi.\nKebiasaannya,\u00a0hanya beberapa pokok ditanam bagi setiap jenis ulaman dan sayuran yang disenaraikan kerana kekurangan kawasan. Setiap jenis ulaman dan sayuran yang kebiasaannya ditanam oleh masyarakat kampung boleh menampung kegunaan selama satu bulan, malah ada sebahagiannya boleh dinikmati sepanjang tahun. Limau nipis, limau purut, bunga kantan, lengkuas, kunyit, halia, sebagai contohnya boleh dimakan sepanjang tahun. Sementara kacang bendi, peria katak, terung bulat, kacang panjang, ketumbar, daun bawang, serai, kucai dan cili padi pula boleh dimakan selama berbulan-bulan.\nPada dasarnya, setiap rumah masyarakat di Kelantan ditanam pokok\u00a0limau nipis untuk kegunaan harian. Secara purata,\u00a0mereka akan menggunakan sebiji limau nipis setiap hari, iaitu antara 30 biji pada setiap sebulan. Harga sebiji limau nipis di pasaran ialah sekitar RM0.50. Dalam situasi ini, mereka dapat berjimat lebih daripada RM15.00 sebulan belanja dapur untuk tujuan pembelian limau nipis.\nKebiasaannya,\u00a0masyarakat menggunakan limau nipis sebagai minuman\u00a0dan ada juga\u00a0dalam masakan seperti kerabu, atau sebagai pembangkit aroma dan rasa dalam budu. Budu merupakan menu wajib dalam kalangan masyarakat Kelantan. Satu daripada ramuan yang dimasukkan dalam budu untuk membangkitkan aroma dan selera makan selain cili padi ialah asam limau nipis. Oleh sebab itu,\u00a0limau nipis digunakan dalam jumlah yang agak banyak.\nSelain itu, masyarakat Kelantan juga menanam pokok kantan untuk mendapatkan bunganya. Bunga kantan merupakan ulaman yang popular dalam kalangan masyarakat Kelantan. Bunga kantan biasanya digunakan dalam masakan dan juga sebagai ulaman atau makan dengan nasi kerabu atau laksa dan laksam. Masyarakat menggunakan bunga kantan secara purata ialah 15 kuntum dalam sebulan. Harga pasaran sekuntum bunga kantan ialah RM1.60. Oleh sebab itu, dengan menanam sendiri, masyarakat boleh menjimatkan lebih daripada RM24.00 belanja dapur untuk membeli bunga kantan.\nSatu lagi sayur dan ulaman yang biasanya ditanam oleh masyarakat ialah kacang bendi. Kacang bendi merupakan sayuran yang sangat senang ditanam dan jangka hayatnya juga agak panjang,\u00a0iaitu lebih daripada enam\u00a0bulan. Secara purata,\u00a0masyarakat Kelantan menggunakan sebanyak 1.0\u00a0kilogram kacang bendi dalam sebulan. Masyarakat menggunakan kacang bendi dalam bentuk goreng, diletakkan dalam masakan asam pedas atau dicelur dan dicecah dengan budu atau sambal belacan dan dimakan dengan nasi putih. Harga pasaran sekilo kacang bendi ialah RM8.40, maka masyarakat boleh menjimatkan belanja dapur sebanyak RM8.40 untuk tujuan pembelian kacang bendi dalam sebulan sekiranya tanam\u00a0sendiri.\nPeria katak juga merupakan sayuran yang banyak ditanam oleh masyarakat di Kelantan. Peria katak bukan sahaja enak untuk dijadikan sayur, bahkan juga terkenal dengan khasiatnya. Secara purata,\u00a0masyarakat menyediakan menu goreng peria katak sebagai lauk sebanyak empat kali dalam sebulan dan menggunakan 0.4 kilogram peria katak bagi setiap hidangan. Maka, dalam sebulan masyarakat menggunakan lebih daripada sekilo setengah peria katak. Harga pasaran peria katak ialah RM7.90 satu kilo, maka dalam sebulan masyarakat membelanjakan duit dapur untuk membeli peria katak lebih daripada RM 11.85 sekiranya tidak menanam sendiri.\nTerung bulat juga satu lagi ulaman tradisional. Terung bulat biasanya dimakan sebagai ulam atau dicelur. Secara purata, masyarakat menggunakan dua biji terung bulat sehari sebagai ulam. Hal ini bermakna sebanyak 60 biji terung bulat digunakan oleh masyarakat dalam sebulan. Harga pasaran sebiji terung bulat berharga lebih daripada RM0.30. Dengan menanam sendiri, masyarakat boleh menjimatkan belanja dapur hingga RM18.00 sebulan.\nSatu lagi sayuran dan ulaman yang popular dalam kalangan masyarakat di Kelantan ialah kacang panjang. Kacang panjang biasanya dimakan sebagai ulam, goreng atau celur. Secara purata, masyarakat memakan kacang panjang dua hari sekali dengan jumlah 150 gram setiap hidangan, maka dalam sebulan mereka memakan lebih kurang 2.5 kilogram. Harga pasaran 1.0\u00a0kilogram kacang panjang berharga lebih kurang RM10.00, maka masyarakat membelanjakan duit dapur sebanyak RM25.00 untuk membeli kacang panjang sekiranya mereka tidak menanam sendiri.\nDaun ketumbar dan daun bawang pula merupakan satu daripada tumbuhan rempah yang biasa digunakan untuk menaikkan aroma dan rasa masakan. Sebagai contoh, daun ini digunakan dalam pelbagai jenis kerabu, digunakan dalam ramuan dalam pelbagai sos dan juga digunakan dalam pelbagai menu seperti mi, bihun atau kuetiau. Di\u00a0samping itu, juga banyak digunakan dalam masakan sup. Pokok ketumbar dan daun bawang biasanya ditanam dalam pasu atau dalam tayar terpakai. Pokok ketumbar dan daun bawang senang tumbuh dan tidak memerlukan penjagaan yang rapi, tidak banyak masalah penyakit. Secara purata masyarakat menggunakan lebih daripda 1.0\u00a0kilogram daun ketumbar dan daun bawang dalam sebulan. Harga pasaran 1.0 kilogram daun ketumbar ialah lebih daripada RM18.00 dan daun bawang lebih daripada RM14.50. Oleh itu, masyarakat terpaksa membelanjakan lebih daripada RM32.50 sebulan untuk membeli daun ketumbar dan daun bawang sekiranya \u00a0tidak ditanam sendiri.\nSatu lagi rempah ratus yang banyak digunakan oleh masyarakat di Kelantan dalam masakan ialah halia, lengkuas dan kunyit. Ketiga-tiga jenis ini adalah merupakan pokok yang menghasilkan umbisi dan senang ditanam serta tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Dengan satu potong umbisi, boleh menghasilkan beberapa kilo umbisi dalam masa lebih kurang sembilan bulan. Ketiga-tiga bahan ini merupakan ramuan utama dalam sebahagian besar jenis masakan bagi masyarakat Kelantan dan masyarakat Malaysia secara umum.Ini bermakna masyarakat menggunakan ketiga-tiga bahan ini dalam jumlah yang agak banyak. Secara purata masyarakat menggunakan lebih daripada 1.0\u00a0kilogram\u00a0kunyit, 500 gram lengkuas dan 500 gram halia. Harga pasaran 1.0\u00a0kilogram\u00a0kunyit ialah lebih daripada RM6.90, sementara halia pula berharga lebih daripada RM8.50 dan lengkuas berharga RM4.90. Sekiranya masyarakat tidak menanam sendiri ketiga-ketiga tanaman ini mereka terpaksa membelanjakan sekurang-kurang RM13.60 perbelanjaan dapur dalam sebulan.\nSerai merupakan tumbuhan rempah yang sangat popular bagi masyarakat Kelantan secara keseluruhan. Serai boleh dikatakan digunakan sebagai ramuan dalam semua jenis masakan yang disediakan oleh masyarakat Kelantan. Serai juga digunakan sebagai ulaman nasi kerabu yang merupakan makanan tradisional masyarakat Kelantan. Serai sangat senang ditanam dan tidak perlu penjagaan yang rapi. Satu batang serai yang ditanam boleh menghasilkan sehingga lebih daripada 30\u00a0batang\u00a0hingga 40 batang serai dalam tempoh lapan bulan. Secara purata,\u00a0masyarakat menggunakan dua batang serai dalam satu hari.\u00a0Ini bermakna mereka menggunakan 60 batang serai dalam sebulan. Harga pasaran satu batang serai ialah lebih daripada RM0.15. Hal ini bermakna masyarakat perlu membelanjakan lebih daripada RM9.00 duit dapur mereka untuk membeli serai sekiranya tidak ditanam sendiri.\nKucai juga merupakan sayuran yang sangat digemari oleh masyarakat Kelantan dan digemari dan banyak ditanam kerana senang ditanam, tidak memerlukan penjagaan yang rapi, senang dimasak dan mengeluarkan bunga cantik yang juga boleh dijadikan sebagai pokok hiasan. Kucai biasanya digoreng dan dimakan dengan nasi putih,\u00a0serta boleh ditanam di dalam pasu, tayar kereta terpakai atau polibeg. Secara purata,\u00a0masyarakat menggunakan 1.0 kilogram\u00a0kucai dalam sebulan. Harga pasaran kucai ialah RM7.90 sekilogram. Dengan menanam sendiri kucai, masyarakat boleh menjimatkan belanja dapur sebanyak RM7.90.\nDi samping itu, masyarakat Kelantan juga terkenal dengan masakannya yang pedas dan masam seperti tomyam yang dipelajari dari Thailand dan sambal belacan. Oleh sebab itu, daun limau purut dan cili padi adalah sangat diperlukan. Masyarakat menggunakan kedua-dua bahan ini dalam jumlah yang agak tinggi, boleh dikatakan secara purata mereka menggunakan 1.5 kilogram cili padi dan 750 gram daun limau purut. Harga pasaran 1.0 kilogram cili padi ialah RM19.90, sementara daun limau purut RM 15.90. Dengan menanam sendiri kedua-dua jenis pokok ini, masyarakat boleh menjimatkan belanja dapur lebih kurang RM42.00 sebulan.\nDengan mengamalkan konsep kelestarian ekonomi, masyarakat Kelantan dapat menjimatkan lebih daripada\u00a0RM200 dalam sebulan duit belanja dapur. Malah, wang ini boleh digunakan untuk tujuan lain seperti belanja persekolahan anak atau membiayai\u00a0bil elektrik dan air. Akhirnya, mereka mampu meneruskan kehidupan yang agak selesa walaupun tidak mewah. Semoga konsep ini juga dapat diamalkan oleh masyarakat yang berada di negeri lain untuk memastikan masyarakat dapat keluar dari kepompong kemiskinan, sekali gus membantu negara mencapai taraf negara maju." "Tarik Pelabur Kuasai Sektor Digital, Elak Malaysia dalam Posisi Tidak Stabil\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSusunan oleh Fatin Syazana Zulkafali\nKerajaan menjangkakan lima hingga 10 tahun lagi Malaysia akan berada pada posisi yang tidak stabil dan merugikan, jika tiada penekanan dalam penarikan pelabur asing sektor digital ke negara ini.\n\u201cMalaysia akan terus ketinggalan berbanding dengan Singapura yang bakal menguasai ekonomi digital di rantau Asia dan sekali gus menyebabkan \u2018Harimau Asia\u2019 bukan lagi milik negara, jika Indonesia boleh melangkaui Malaysia,\u201c tegas Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata menerusi kenyataan hari ini.\nSyarikat IBM yang merupakan antara syarikat teknologi pertama yang melabur di Cyberjaya ketika Koridor Raya Multimedia dilancarkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada pertengahan 1990-an akan menutup Pusat Penyampaian Global di Cyberjaya pada 31 Mei.\n\u201cIni satu lagi kerugian buat negara dan bakal terus ketinggalan dalam menguasai ekonomi digital. Pada masa yang sama, penutupan itu mungkin menyebabkan lebih 1000 pekerja kehilangan pekerjaan,\u201d katanya lagi.\nBerdasarkan realiti dan situasi semasa, kerajaan perlu cakna terhadap ekonomi negara agar tidak ketinggalan berbanding negara lain di rantau ini. Keadaan ekonomi yang terjejas teruk pada ketika ini tidak boleh disalahkan pada penularan COVID-19 semata-mata kerana Singapura dan Indonesia turut diserang wabak tersebut. Pada masa sama, kerajaan tidak boleh memilih pelaburan ketika pelabur besar memilih negara jiran.\nMaka, Shahir menasihatkan menteri perlu memainkan peranan dan bertanggungjawab agar tidak meremehkan kegawatan ekonomi dengan menggesa anak muda dan graduan untuk bersyukur dengan kerja gaji yang rendah.\n\u201cTugas menteri adalah untuk membuka peluang pekerjaan dan menarik pelaburan ke negara kita. Amat memalukan apabila anak muda diminta bersyukur untuk menerima gaji di bawah paras gaji minimum RM1200, walhal tiada inisiatif tuntas daripada pihak kerajaan untuk memperbaiki sistem ekonomi, termasuklah penguatkuasaan oleh kerajaan,\u201c ujarnya lagi dalam menekankan setiap peranan dan tanggungjawab kerajaan itu sendiri." "Anugerah LICTA Pemangkin Pembangunan Komuniti Usahawan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKLANG, 11 April 2021\u00a0\u2013\u00a0Majlis Makan Malam Gala LICTA 2020 yang berlangsung secara gilang-gemilang di Hotel Wyndham Acmar merupakan majlis anugerah yang berprestij untuk meraikan pemenang usahawan Malaysia, sekali gus membina lebih banyak usahawan dan ahli perniagaan yang berjaya pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa.\nPerasmian majlis ini disempurnakan oleh YB Dato\u2019 Sri Alexender Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, bersama-sama tetamu terhormat YB Dato\u2019 Haji Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), dan YBhg. Dato\u2019 Lee Chee Weng, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Lang International Corporate Titan Awards (LICTA).\nDalam ucapan perasmian, YB Dato\u2019 Sri Alexender menzahirkan rasa kebanggaannya terhadap usahawan dan ahli perniagaan dengan setiap pencapaian yang diraih kerana merekalah menjadi nadi dan benteng dalam pembangunan ekonomi negara. Sejajar dengan tema \u00a0aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030), maka bertepatanlah hasrat kerajaan dalam usaha melakar hala tuju keusahawanan negara dengan menggariskan strategi penting ke arah sebuah negara keusahawanan yang unggul menjelang tahun 2030.\n\u201cAnugerah LICTA ini dilihat begitu signifikan dalam meransang pertumbuhan ekonomi negara. Dalam hal ini, saya bersedia membantu dan memberikan sokongan padu terhadap sektor perusahaan dan keusahawanan demi merealisasikan hasrat kejayaan bersama,\u201c ujar YB Dato\u2019 Sri Alexender.\nSelaku Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan LICTA yang menjadi penggerak dalam menjayakan anugerah ini, YBhg. Dato\u2019 Lee mengucapkan kata alu-aluan tahniah kepada pemenang dan syarikat kerana berani menyahut cabaran dengan menunjukkan minat yang tinggi untuk terlibat dalam pencalonan anugerah yang sentiasa dinanti-nantikan saban tahun sejak penganjurannya. Selain itu, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan kerjasama yang menjadi tunjang utama dalam usaha mengangkat kredibiliti usahawan di Malaysia.\nSementara itu, Datuk Abang Sallehuddin turut berbesar hati dapat bekerjasama dengan penganjuran ini. Secara tidak langsung, DBP diberikan kepercayaan sebagai rakan sinergi selama tiga tahun berturut-turut oleh Syarikat SAHABAT SMI Consulting Sdn. Bhd., serta mengangkat majalah Dewan Ekonomi\u00a0sebagai majalah rasmi acara ini.\n\u201cPenganjuran LICTA bukan sekadar suatu persembahan anugerah semata-mata, malah merupakan proses pengiktirafan bagi mengenal pasti pencapaian sebenar perusahaan dan usahawan yang cemerlang, tulen dan dipercayai, sekali gus pemenang yang diiktiraf pada malam ini mampu menjadi tokoh korporat berwibawa yang mampu memberikan inspirasi kepada masyarakat untuk terus berjaya dalam bidang keusahawanan,\u201d katanya.\n\u201cWalaupun menghadapi situasi dan krisis yang mempengaruhi kebanyakan perniagaan, percayalah akan ada cahaya di hujung terowong dan hari ini terbukti kita tetap berdaya tahan dalam menghidupkan kembali ekonomi Malaysia tatkala berhadapan dengan persekitaran perniagaan pascapandemik COVID-19,\u201d tambah YB Dato\u2019 Rashid.\nTernyata, penganjuran LICTA banyak melakarkan nama usahawan ke suatu jenama yang mempunyai akreditasi dan berkredibiliti, seterusnya mampu menjadi pemangkin kepada proses transformasi ekonomi inklusif dan pembangunan komuniti usahawan negara." "Kenanga Investors Lancar Dana Wakaf Pertama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR, 13 April 2021 \u2013 Demi menyediakan saluran pelaburan terbuka untuk me\u00adlabur dalam pelbagai portfolio ekuiti, sukuk, instrumen pasaran wang Islam dan juga deposit Islam yang mematuhi prinsip syariah, Kenanga Investors Berhad (Kenanga Investors) telah melancarkan Dana Wakaf Al-Ihsan.\nKenanga Investors bertindak sebagai rakan strategik pertama yang bekerjasama secara aktif dengan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dalam pengembangan wakaf sejak mandat Belanjawan Negara 2021 pada tahun lepas yang menyeru lebih banyak libat urus antara YWM dengan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta, untuk memacu pembangunan wakaf di dalam negara.\nDalam usaha sama antara kedua-dua institusi, YWM dilantik sebagai penerima dan pentadbir Dana wakaf.\u00a0Dana Wakaf Al-Ihsan merupakan saluran pelaburan terbuka yang membuat pelaburan dalam pelbagai portfolio ekuiti, sukuk, instrumen pasaran wang Islam dan deposit Islam yang mematuhi prinsip Syariah. Sejajar dengan prinsip wakaf, separuh daripada pendapatan yang diperoleh akan diagihkan kepada pelbagai sektor seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, pemerkasaan ekonomi dan pemuliharaan atau pembangunan alam sekitar.\nDalam pelancaran tersebut, Ismitz Matthew De Alwis, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors berkata, \u201cMemandangkan Kenanga Investors telah menerajui pelbagai pencapaian perintis dan inovatif industri dalam industri pengurusan dana, maka langkah yang seterusnya adalah untuk mengembangkan pelaburan Syariah kami.\nPotensi wakaf, iaitu suatu saluran yang berasaskan filantropi Islam, akan menjadi sangat bermakna dalam memberikan impak yang positif kepada aspek ekonomi dan sosial golongan yang kurang bernasib baik. Dana ini akan berfungsi sebagai landasan pelancaran bagi produk serupa yang lain, yang berkaitan dengan ESG, sebagai sebahagian daripada langkah Kenanga Investors ke arah pelaburan yang mampan dan bertanggungjawab secara sosial.\u201d\nSementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Profesor Madya Dr. Amir Shaharuddin berbesar hati dapat bekerjasama dengan Kenanga Investors kerana dapat mengembangkan harta wakaf sedia ada, mewujudkan wakaf baharu serta membangunkan ekonomi ummah menerusi instrumen wakaf.\nMenurut Profesor Madya Dr. Amir, konsep wakaf merupakan satu daripada institusi sosioekonomi teras Islam yang menggalakkan umat Islam untuk bergerak secara inovatif dalam menjana hasil dan menyediakan pelbagai barangan, serta perkhidmatan kepada komuniti masing-masing. Seterusnya, mengharapkan inisiatif ini dapat memberikan kesedaran dan minat yang tinggi disebabkan oleh ciri altruistiknya, terutamanya dalam iklim sosial pada hari ini yang akan membawa kepada pemerkasaan masyarakat dan pengurangan kemiskinan.\nDana ini sesuai untuk pelabur dermawan. Selain itu, dapat meningkatkan pertumbuhan modal dan pengagihan pendapatan yang stabil melalui kaedah pempelbagaian yang meluas dan pengurangan risiko.\u00a0Jumlah pelaburan minimum awal ialah RM1000 dengan setiap pelaburan tambahan pada nilai RM100." "Kepercayaan Pelanggan Nadi Kejayaan Perniagaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPercaya membawa beberapa maksud, tetapi secara umumnya, jelas merujuk keyakinan satu pihak kepada kejujuran, amanah, kualiti kerja, rasa boleh diharap dan tiada pembohongan daripada pihak lain. Hal ini jelas menunjukkan satu aspek penting dalam apa jua perhubungan antara dua pihak, khususnya dalam urus niaga barang atau perkhidmatan.\nTanpa kepercayaan pihak yang umumnya dipanggil \u201cpelanggan\u201d kepada pihak yang umumnya boleh digelar \u201cpeniaga\u201d, maka akan ranaplah urus niaga dan masa depan perniagaan tersebut. Ini bukan sahaja tertakluk kepada kepercayaan antara dua orang individu, malah antara syarikat dan antara dua buah negara.\nDalam suasana penuh kekangan disebabkan pandemik COVID-19, banyak perniagaan bergelut untuk terus terapung, ada yang terpaksa mengecilkan operasi dan tidak kurang yang terpaksa gulung tikar. Namun begitu, sektor penghantaran barang menerima durian runtuh apabila perkhidmatan mereka mendapat permintaan tinggi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sektor ini menjadi penghubung peniaga dalam talian kepada para pelanggan yang \u201cterperangkap\u201d di rumah masing-masing. Dengan 109 buah syarikat menawarkan perkhidmatan serupa beroperasi setakat Oktober 2020, persaingan dari segi harga dan mutu perkhidmatan industri bernilai RM2.71 bilion ini semakin sengit.\n\u00a0\nMalangnya, baru-baru ini berlaku beberapa kejadian yang mencemarkan nama sebuah syarikat kurier susulan tularnya beberapa video sejak Januari 2021 menunjukkan bungkusan barang pembeli dicampak sesuka hati, disusuli banyak aduan bungkusan kemik dan barang rosak dikongsi dalam sebilangan platform media sosial. \u00a0Akibatnya, kepercayaan pelanggan merudum teruk sehinggakan terdapat video terbaharu daripada kakitangan syarikat tersebut meluahkan rasa sedih melihatkan lori dan gudang-gudang yang semakin kosong kerana perkhidmatan mereka dipulaukan ramai pembeli dan peniaga dalam talian. Bagai menabur garam di luka, banyak video baharu menunjukkan lori dan gudang beberapa buah syarikat pesaing mereka pula yang semakin penuh.\nLaporan media dan perkongsian dalam media sosial mendakwa pekerja membaling barang sebagai tanda protes melibatkan isu gaji, komisen dan bonus atas alasan majikan yang catat untung besar sepatutnya boleh berkongsi sedikit hasil pendapatan lebih tinggi dengan pekerja yang bekerja keras sepanjang PKP. Majikan mereka pula dilihat mengambil masa untuk menjawab dakwaan. Beberapa video yang dikongsi mendakwa beberapa pekerja dipecat atas alasan merakam video dalam kawasan gudang dan isu itu kemudian dianggap selesai.\nWalau bagaimanapun, nasi sudah menjadi bubur, perkhidmatan syarikat itu dilihat masih dipulaukan ramai pihak selepas beberapa bulan tular \u00a0isu tersebut dalam media sosial. Tatkala permintaan mula meningkat kembali, tular lagi aduan-aduan dalam media sosial yang dilihat masih gagal ditangani dengan pantas dan talian khidmat pelanggan terus tidak berjawab.\nSecara umumnya, hampir semua syarikat penghantar barang akan mempunyai masalah dalam kualiti perkhidmatan pada masa-masa tertentu kerana sesetengah faktor seperti cuaca, kemalangan malah mutu kerja individu bukan sesuatu yang boleh dikawal sepenuhnya. Bezanya cuma kekerapan aduan, cara dan kepantasan syarikat menguruskan kes aduan, serta pengurusan imej syarikat dalam platform media sosial.\nKes ini menjadi contoh terbaik kesan hilangnya kepercayaan pelanggan terhadap sesuatu perniagaan. Walau apa sekalipun yang berlaku, menjaga kepercayaan pelanggan menjadi keutamaan kerana tanpa mereka, semua pihak dalam syarikat tersebut akan terjejas. Tidak guna membuang masa mencari siapa yang salah, sama ada pekerja, majikan mahupun taktik pesaing. Majikan perlu hargai penat lelah pekerja, pekerja juga perlu faham risiko diambil majikan melabur dalam perniagaan tersebut dan kedua-duanya perlu mematuhi kontrak kerja. Jika terdapat masalah, berbincanglah secara dalaman dan gunakan saluran yang betul termasuk ke mahkamah dan kementerian berwajib.\nJika digambarkan dua ekor gajah bergaduh, kancil mati tersepit, sebenarnya si kancil itu ialah pembeli dan peniaga yang menggunakan perkhidmatan kurier. Tiada sesiapa yang mahu tersepit di antara dua pihak yang bergaduh, apatah lagi sehinggakan barang yang dihantar menjadi mangsa.\nKisah naik turun syarikat penghantar barang tersebut perlu diambil iktibar semua sektor perniagaan lain. Bukan sahaja kualiti kerja akan menentukan kepercayaan pelanggan, pengurusan aduan, ketepatan masa, harga yang munasabah dan imej juga menjadi penentu." "BNM Yakin Ekonomi Malaysia Bakal Pulih\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPersoalan besar yang terus diajukan oleh hampir semua pihak sekarang ialah tentang iklim ekonomi pascapandemik. Adakah keadaan akan terus lembap dan tidak menentu? Atau sudah wujud petunjuk positif bahawa situasi akan pulih dalam sedikit masa lagi?\nPersoalan ini bukan sahaja kritikal, namun sesuatu yang sukar untuk dijawab dengan sebarang kepastian. Baik oleh pihak kerajaan mahu pun sektor swasta. Boleh dikatakan hampir tidak ada pihak, di dalam mahu pun luar negara, yang boleh memberikan jawapan yang jelas. Profesor Madya Brad Potter dari University of Melbourne menggambarkan ekonomi pasca COVID-19 sebagai tidak jelas, kabur dan penuh misteri. Di Australia sahaja, keyakinan pengguna telah merudum sehingga 85.6 peratus seperti yang didedahkan oleh Australia and New Zealand Banking Group (ANZ).\nSekiranya kita merujuk kepada 2021 CEO Outlook PulseSurvey oleh KPMG, 59 peratus CEO di Asia Pasifik percaya bahawa keadaan tidak akan pulih sehingga 2022. Manakala 35 peratus CEO yakin yang perniagaan mereka akan berubah secara kekal. Daripada 500 buah syarikat yang disoal selidik, hanya kira-kira enam peratus CEO di Asia Pasifik yang optimis keadaan akan bertambah baik pada tahun ini. Sebanyak 31 peratus CEO pada peringkat global kelihatan lebih yakin bahawa keadaan akan segera pulih pada tahun 2021, manakala 45 peratus lagi berpandangan bahawa keadaan akan kembali normal hanya pada tahun 2022.\nKaji selidik ini menunjukkan kepada kita dua perkara penting. Pertama, sebahagian besar penggiat industri tidak begitu yakin bahawa keadaan akan kembali normal dalam masa terdekat. Kedua, kebanyakan mereka percaya bahawa bentuk perniagaan akan berubah bentuk secara kekal.\nKeadaan ini pastinya mendatangkan beberapa kesan lanjutan yang tidak boleh dielakkan. Misalnya, syarikat-syarikat tidak akan membuat pelaburan baharu atau pelebaran perniagaan secara besar-besaran pada tahun ini. Pada masa yang sama, pelaburan terhadap kemudahan perniagaan atau operasi secara atas talian akan menyaksikan langkah pemerkasaan yang radikal dan serius. Standard Chartered Future Money Survey(2020)\u00a0menunjukkan kadar pembelian atas talian oleh pengguna meningkat dengan ketara daripada 26 peratus sebelum COVID-19 kepada 48 peratus selepas pandemik melanda. Malah, pembayaran menggunakan aplikasi e-dompet\u00a0pada tahun 2020 merekodkan peningkatan sehingga 131 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya.\nBank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Tahunan 2020 bertarikh 31 Mac 2021, merumuskan tiga perkara penting. Pertama, ekonomi Malaysia dijangka akan berkembang antara enam peratus hingga 7.5 peratus dengan sokongan oleh kedua-dua faktor domestik dan luar. Malah, dijangkakan yang KDNK kita akan kembali pada paras asal sebelum COVID-19 menjelang Mei tahun ini. Prestasi jangkaan ini disandarkan kepada beberapa faktor sokongan seperti program imunisasi yang sedang berjalan, penambahbaikan berkala terhadap pasaran kerja dan polisi sokongan yang berterusan ke atas isi rumah dan perniagaan. Kedua, tindakan Kerajaan memperkenalkan beberapa langkah liberalisasi yang disasarkan untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi FDI dan hab rantaian bekalan global, akan memberikan impak positif. Ketiga, keanjalan kadar tukaran ringgit akan turut menyokong pemilihan ekonomi Malaysia.\nJika diteliti, wujud perbezaan yang jelas antara laporan kaji selidik CEO 500 buah syarikat oleh KPMG dan Laporan Tahunan 2020 oleh BNM.Kaji selidik KPMG menunjukkan para CEO syarikat dunia tidak begitu yakin yang keadaan akan segera pulih\u00a0sebelum tahun 2022. Manakala BNM kelihatan lebih optimis bahawa ekonomi Malaysia mampu mencecah perkembangan sehingga 7.5 peratus dan berupaya untuk kembali berada pada tahap sebelum pandemik menyerang kita. Oleh sebab itu, siapa yang betul dan siapa yang salah?\nSebenarnya, prestasi ekonomi dan jangkaan pasaran tidak semudah siapa yang lebih betul dan siapa yang salah. Kedua-dua pihak, sekali pun mempunyai kesimpulan yang saling berbeza, mempunyai asas dan sandaran masing-masing. Malah, kedua-dua analisis ini perlu diberikan perhatian yang sama penting.\nTidak kiralah laporan atau analisis pihak mana yang ingin kita pegang dan yakini, yang lebih penting, semua pihak mesti mula membuat persediaan yang sewajarnya. Terdapat tiga langkah penting yang boleh dipertimbangkan.\nPertama, orang awam mesti bersedia untuk menyemak serta merancang semula kedudukan kewangan masing-masing. Ini termasuklah memastikan yang sebarang ketidakupayaan untuk melunaskan tanggungjawab kewangan kepada mana-mana institusi kewangan dibawa ke meja rundingan. Melarikan diri atau mengambil pendekatan lepas tangan dengan alasan COVID-19 dan kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan bukanlah suatu langkah yang wajar dan selamat.\nKedua, sekarang adalah waktu terbaik, malah mendesak, untuk kita meneroka sumber pendapatan tambahan yang boleh dilakukan secara atas talian. Perkara ini turut ditegaskan oleh firma khidmat rundingan terkemuka McKinsey dalam From Survivingto Thriving: Reimagining Post Covid-19 rerun yang diterbitkan pada awal Mac lepas.\nKetiga, dalam konteks perniagaan dan pemain industri pula, International Federation of Accountants (IFAC) yang berpusat di New York dalam Small Business Continuity Checklist: How To Surviveand Thrive Post COVID-19 menyarankan kepada pemilih Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk menyusun semula kitaran modal pusingan kerja serta sasaran pendapatan untuk tempoh 12 bulan. Selain itu, PKS disarankan mewujudkan sistem kerja yang selamat di samping memperhebat pelaksanaan waktu kerja anjal yang boleh dilakukan dari rumah atau luar pejabat.\nKetidakpastian masa depan pascaCOVID-19 tidak seharusnya melemahkan semangat kita. Tatkala kerajaan mencari jalan keluar yang lebih meyakinkan, semua pihak mesti melakukan persediaan yang bersesuaian. Berbekalkan kecekalan dan minda yang positif, kita pasti boleh mengharunginya. Kita pasti menang!" "Warna-warni Aidilfitri 2021: Sasar 1.8 Juta Jualan Tahun Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nOleh Mariatul Qatiah Zakaria\nKUALA LUMPUR, 17 April 2021 \u2013 Kraf tangan Malaysia menyasarkan jualan fizikal meningkat RM1.8 juta hingga RM2 juta tahun ini, termasuklah tujuh buah pusat beli-belah setiap negeri berbanding dengan RM1.7 juta tahun lalu sempena promosi jualan Warna-warni Hari Raya Aidilfitri 2021.\nKetua Pengarahnya, Ibrahim Ismail berkata, menerusi tema \u201cKraf di Hati, Hari Raya Aidilfitri Dinanti\u201c dengan penyertaan seramai 200 orang usahawan dari seluruh negara, sasaran tersebut tidak mustahil dapat direalisasikan.\n\u201cPromosi ini merupakan inisiatif dan peluang pertama yang dapat diadakan secara fizikal bagi membantu usahawan ketika pandemik COVID-19 dan seramai 200 usahawan kraf di seluruh negara terlibat dalam acara ini.\nWaktu ini merupakan waktu paling tepat untuk melaksanakan program selepas kerajaan membenarkan aktiviti secara fizikal dijalankan, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).\nHal ini sekali gus memberikan limpahan ekonomi kepada pelbagai pihak bagi meningkatkan pendapatan, terutamanya kepada golongan usahawan B40,\u201d katanya dalam lawatan bersama-sama media pada promosi berkenaan di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur baru-baru ini.\nDalam pada itu, tahun ini Warna-warni Hari Raya Aidilfitri 2021 menampilkan konsep menjadikan produk kraf bukan sekadar cenderamata, sebaliknya turut menerapkan kraf sebagai gaya hidup yang boleh diguna pakai dalam musim perayaan.\nMenurut Ibrahim, pihaknya mahu mendidik masyarakat supaya menggunakan produk kraf ini pada musim perayaan. Lagipun secara tradisinya, pemakaian masyarakat Melayu ialah baju Melayu, samping, songket dan capal memang merupakan produk kraf.\nTambah beliau, hal ini secara tidak langsung membuka jalan kepada usahawan kraf pelbagai bidang, menerokai pasaran baharu ini.\nProgram ini berlangsung selama 18 hari, iaitu bermula pada 15 April hingga 2 Mei. Gimik pelancaran akan diadakan pada 19 April dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato\u2019 Sri Nancy Shukri memasak bubur pedas Sarawak.\u00a0Promosi ini sebenarnya telah diadakan pada tahun 2003 lagi, namun tergendala kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.\nSelain Kompleks Kraf Kuala Lumpur, tujuh pusat beli-belah yang turut terlibat dalam promosi ini ialah \u00a0East Coast Mall, Pahang; Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Mall, Terengganu; AEON Mall Kuching, Sarawak; AEON Mall Kinta City, Perak; AEON Mall [email\u00a0protected] 2, Negeri Sembilan; Mydin Mall Bertam, Pulau Pinang; dan Freeport A\u2019Famosa Outlet, Melaka.\nTerdapat pelbagai aktiviti turut diadakan, antaranya termasuklah demonstrasi anyaman, pertunjukan fesyen dan sebagainya. Selain promosi atau program fizikal, kraf tangan turut mempunyai platform digital untuk usahawan melalui e-Kraf Bazar." "Cari Rezeki dengan Bahasa Isyarat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSHAH ALAM \u2013 Bahasa isyarat merupakan satu kaedah komunikasi yang menggunakan pergerakan tangan, badan dan bibir untuk menyampaikan maklumat. Bahasa isyarat sering digunakan dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) yang pekak atau tuli. Inilah cara mereka untuk bertutur antara satu sama lain.\nWalau bagaimanapun, kekurangan diri yang ada pada diri golongan ini tidak menjadi penghalang buat Noor Izatty Sahrif yang mengusahakan perniagaan secara dalam talian untuk menyara diri dan keluarganya. Biarpun hanya berkomunikasi dengan menggunakan bahasa isyarat ketika menjual produknya, Izatty kelihatan lincah dan bijak dalam menarik perhatian pelanggan.\nIbu kepada tiga orang anak ini tidak pernah lekang dengan senyuman dan tidak kekok ketika menjual produknya secara dalam talian yang diadakan secara langsung di akaun Facebook miliknya, iaitu Zetty Sufiyyah. \u201cSuami, anak-anak dan keluarga sangat banyak membantu saya. Namun begitu, adakalanya memang tidak dapat dinafikan bahawa sukar untuk saya meyakinkan pelanggan untuk membeli produk terutama bagi orang normal,\u201d ujarnya yang memang berminat berniaga sejak dahulu.\nIzzaty tidak menyangka bahawa produk yang dijual secara langsung menerusi Facebook miliknya baru-baru ini tular sehingga menarik perhatian banyak orang dan hasil jualannya juga semakin meningkat." "Pelestarian Bahasa Daerah sebagai Bahasa Warisan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2212 Antara penyebab kepunahan dialek termasuklah isu peralihan antara generasi kerana kebiasaannya bahasa daerah hilang kerana generasi baharu memilih untuk tidak meneruskan bahasa nenek moyangnya disebabkan mereka lebih gemar menggunakan bahasa nasional atau bahasa kebangsaan. Lama-kelamaan hal tersebut akan menyebabkan dialek daerah semakin pudar dan kurang dituturkan lagi oleh generasi baharu.\nUsaha memulihara dialek dan bahasa yang punah serta terancam ini adalah dengan menggiatkan usaha pelestarian bahasa daerah oleh segenap lapisan masyarakat. Contohnya, melalui penerbitan kamus dan nahu bahasa daerah daripada masyarakat penutur daerah itu sendiri. Hal ini akan dapat menjelmakan semula maklum balas daripada masyarakat penutur. Usaha lain pula adalah melalui dunia pendigitalan seperti tayangan drama berdialek di kaca televisyen dan sebagainya.\nDemikianlah menurut Profesor Emeritus Dr. James T. Collins, Profesor Antarabangsa Tersohor, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Katanya lagi, dialek dapat ditakrifkan sebagai satu ragam bahasa yang dibezakan secara tegas daripada ragam lain dari segi ciri sebutan, kosa kata dan tatabahasa.\u00a0 Ragam bahasa ini terdapat dalam daerah geografi tertentu dan dalam suasana sosial tertentu. Dialek yang terbentuk bagi sesebuah kawasan berbeza dari suatu komuniti dengan komuniti yang lain.\nDari segi geografinya pula, Nusantara ini terdiri daripada pulau-pulau dan kepulauan yang mewujudkan banyak sekali dialek. Namun begitu, pada hari ini terdapat isu yang berkaitan dengan kepunahan dialek dan bahasa di Nusantara.\nDalam era kegemilangan Zaman Kesultanan Melayu Melaka (1511), bahasa Melayu menjadi lingua franca kerana aktiviti perdagangan. Namun begitu, aktiviti perdagangan sebenarnya tidak mempengaruhi dialek penduduk tempatan kerana dialek tempatan banyak dipengaruhi oleh aktiviti keagamaan berbanding dengan pengaruh aktiviti perdagangan.\nSelain itu, diaspora Melayu juga berubah kerana persekitaran dan juga polisi kolonial. Penutur bahasa Melayu yang berlayar ke daerah Melayu dan bermastautin ke negara lain misalnya, sudah tidak menggunakan dialek Melayu sebagai bahasa ibunda.\nMenurutnya lagi, bahasa dan budaya selalunya tidak mempunyai ikatan yang jelas. Begitu juga halnya antara bahasa dengan agama yang selalunya tidak saling berkaitan. Hal ini dibuktikan apabila Tamadun Melayu tetap bertahan dari abad ke-7 hingga abad ke- 21 walaupun berlakunya perubahan pelbagai unsur dalam tamadun Melayu termasuklah perubahan budaya dan agama.\nJaringan pemodenan ekonomi dan sosial juga tidak mempengaruhi kepunahan dialek. Hal ini dibuktikan apabila zaman moden bukannya bermula daripada kesan kedatangan orang Inggeris ke Nusantara tetapi bermula serentak dengan zaman kemodenan di Eropah, iaitu pada abad ke-17 hingga abad ke-19.\nDemikianlah antara penerangan menarik daripada Profesor Emeritus Dr. James T. Collins, selaku panel dalam Rancangan Sembang Tamu: Kepunahan Dialek dan Bahasa di Nusantara. Yang turut hadir ialah Encik Abd Ghani Abu selaku moderator menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 3.00 petang." "Bank Negara Malaysia Pemegang Perbendaharaan Malaysia Terulung\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "TV AlHijrah Tingkatkan Strategi Pemasaran Usahawan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKini, rata-rata masyarakat hidup dalam kebiasaan baharu. Sedar atau tidak, sudah lebih setahun seantero dunia berdepan dengan pandemik COVID-19. Wabak ini bukan sahaja merubah pola dan kehidupan sosial masyarakat, malah turut memberikan\u00a0perubahan besar kepada landskap ekonomi negara.\nKebanyakan syarikat gergasi masih mampu berdiri meneruskan operasi dek keutuhan sumber kewangan. Namun begitu, berbeza dengan peniaga dan usahawan kecil dan sederhana. Pelbagai kaedah dan strategi dilakukan, tetapi masih berdepan dengan penurunan prestasi perniagaan disebabkan oleh kelembapan pasaran semasa.\nNamanzee Harris, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah berkata, cakna dengan keperluan dan perit jerih usahawan tempatan, TV AlHijrah meneruskan tradisi memberikan bantuan untuk membangunkan semula ekonomi peniaga industri kecil dan sederhana mendepani masa sukar disebabkan oleh COVID-19.\nPelancaran Bincang Niaga\u00a0Siri 1 yang bermula pada hari ini dengan temanya, \u201cBangkit Bersama\u201d merupakan satu usaha yang\u00a0cukup jelas objektif dan hasratnya untuk memberikan\u00a0peluang kepada usahawan baharu mahupun yang pernah beriklan dengan kami untuk memperkemas strategi pemasaran, di samping melonjakkan lagi perniagaan menerusi iklan televisyen dengan harga yang cukup berbaloi.\n\u201cKeutamaan diberikan kepada usahawan yang berhasrat untuk mempromosi perniagaan mereka secara gerila bermula Mei hingga Julai tahun ini memandangkan sambutan Aidilfitri dan Aidiladha akan disambut sekitar tiga bulan ini.\nMenurut Namanzee, lapan pakej pengiklanan mampu milik akan ditawarkan buat usahawan yang berminat bermula dari serendah RM3400 sahaja. Kesemua pakej ini mempunyai keistimewaan yang tersendiri, iaitu\u00a0usahawan boleh memilih slot rancangan berbeza mengikut kemampuan dan kehendak mereka.\nAntara slot\u00a0rancangan bual biacara yang menjadi pilihan ialah Bual Bicara Pagi Assalamualaikum, Berita Alhijrah, rancangan Bazaar Jom! dan banyak lagi pilihan menarik lain.\n\u201cJika pada tahun lalu, hampir lebih daripada 5000\u00a0usahawan IKS dibantu, maka pada tahun ini kami mensasarkan lebih banyak usahawan dapat dibantu menerusi kempen Bincang Niaga ini.\u00a0Saya menyeru dan menggesa semua peniaga IKS untuk sama-sama mendaftar pada 28 April ini agar layak menyertai sesi Bincang Niaga Bangkit Bersama\u201d, katanya.\nUsahawan yang berminat bolehlah merebut peluang ini dengan membuat pendaftaran di pautan https://www.tvalhijrah.com/bincangniaga/\u00a0atau layari laman sesawang TV AlHijrah di www.tvalhijrah.com\u00a0untuk maklumat lanjut." "Alha Alfa Kosmetik: Cetusan Ilham Jurusolek Profesional\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMembina sebuah perniagaan yang berasaskan produk buatan Malaysia bukanlah suatu perkara yang mudah untuk mencapai kejayaan sehingga dikenali dan sentiasa meniti di bibir pengguna dan masyarakat umum. Memiliki daya pemikiran yang kreatif dan krisis merupakan kunci kejayaan bagi penghasilan sesuatu produk yang bertaraf tinggi seiring dengan kehendak pengguna yang sentiasa berubah-ubah mengikut peredaran zaman.\nTerdapat banyak lambakan produk di dalam negara mahupun di luar negara, namun jenama Alha Alfa Kosmetik berjaya menembusi saingan dalam pasaran, dan kini tidak asing lagi didengari dalam industri kecantikan dan kosmetik. Ditubuhkan pada tahun 2016, Alha Alfa Rich Legacy Sdn. Bhd. yang terletak di Taman Putra Kajang, Selangor mendapat perhatian banyak peminat kosmetik lanjutan daripada keluaran produk yang berasaskan sumber semula jadi, yang sudah pastinya memberikan manfaat pada wajah pengguna.\nDengan slogan \u201cPerbezaan Itu Keunikan Kita\u201d, penjenamaan Alha Alfa\nberjaya memikat hati pengguna, sekali gus menunjukkan rasa keprihatinan daripada pengasas dalam membantu golongan wanita khususnya menata rias wajah mereka. Sentuhan solekan pada wajah merupakan aset kecantikan yang dapat meningkatkan keyakinan diri seseorang. Setiap wanita mengimpikan kulit wajah yang halus dan mulus tanpa masalah kulit untuk kekal tampak jelita dan lebih menawan. Penampilan diri sangat penting dalam mempengaruhi perwatakan seseorang secara menyeluruh. Walaupun cantik itu didefinisikan sebagai suatu yang indah dan menarik, tetapi kecantikan seseorang lebih terserlah apabila yakin dan selesa dengan diri sendiri.\n\nKini, Alha Alfa Rich Legacy Sdn. Bhd. dianggap sebagai peneraju industri kosmetik organik yang memperkenalkan penjenamaan Alha Alfa Kosmetik (AA) dengan formulasi yang bebas daripada bahan berbahaya dan berisiko. Nama \u201cAlha Alfa\u201d merupakan cetusan ilham daripada gabungan antara nama pengasas, Al Halim (Alha) dengan nama bapanya, Al Fadzil (Alfa).\nSelaku pengasas kosmetik dan merangkap jurusolek artis (MUA) yang sangat dikenali di Malaysia, Dato\u2019 Abdul Al Halim Mohd. Al Fadzil atau lebih dikenali sebagai Dato\u2019 Alha berpendapat bahawa ketelusan niat dan keberkesanan meletakkan strategi pemasaran merupakan faktor utama untuk menentu halakan kelangsungan perniagaan agar terus kekal relevan dan dipercayai oleh pengguna.\nFikir semula niat dan matlamat perniagaan kita. Adakah untuk menunjuknunjuk dan mendapatkan keuntungan sahaja, atau untuk membantu diri, keluarga dan masyarakat bersama-sama berkongsi\nrezeki? Mungkin dengan ketelusan niat dan usaha yang betul dan konsisten, maka kejayaan akan menjadi milik kita,\u201d kata pengasas produk AA tatkala diwawancara oleh sidang editor Dewan Ekonomi.\nSememangnya, perniagaan barangan kecantikan diri sudah banyak bertapak di negara ini. Namun begitu, bagaimanakah pengasas atau perniagaan itu sendiri membina keunikan dan inisiatif untuk membezakan produknya berbanding dengan produk lain? Berbekalkan pengalaman sebagai profesion jurusolek sejak zaman universiti lagi, beliau melihat pelibatan diri dalam bidang keusahawanan merupakan satu ruang dan peluang untuk membina kerjaya dan menjana pendapatan, di samping meluaskan produk tempatan di persada dunia.\nMenurut Dato\u2019 Alha, idea menghasilkan produk penjenamaan sendiri sebenarnya tercetus apabila beliau menerima banyak panggilan tawaran untuk menjadi duta dan perunding kosmetik dalam mempromosikan produk kecantikan. Perkara yang tidak disangka-sangkakan, hampir kesemua produk yang dipromosikan oleh beliau mendapat sambutan yang menggalakkan, bahkan produk tersebut semakin laku dan laris di pasaran. Maka itu, sebagai figura yang mempunyai ramai pengikut, tanggungjawab dalam memberikan sesuatu perkara yang bermanfaat kepada masyarakat adalah sangat penting, bukan sekadar meraih keuntungan sahaja.\nSaya percaya dalam industri ini, seseorang jurusolek artis mahupun publik figura sangat berperanan dalam mempengaruhi perhatian masyarakat atau pengguna dalam memilih dan menggunakan sesuatu produk. Rata-rata pengguna berasa yakin bahawa produk yang digunakan oleh mereka pastinya produk yang berkualiti baik. Bahkan, solekan yang dihasilkan oleh mereka terbukti menonjolkan kecantikan wajah walaupun seseorang itu memiliki bentuk wajah yang kurang menarik atau kulit yang bermasalah,\u201d kongsi Dato\u2019 Alha dengan penuh keyakinan.\nMemulakan langkah dalam dunia perniagaan, Dato\u2019 Alha tampil dengan produk sulungnya, iaitu kanta lekap atau lebih dikenali sebagai AlhaAlfa Lenses pada tahun 2017, hasil kerjasama dengan sebuah kilang. Kemudiannya, Alha Alfa Kosmetik mula mengembangkan pasaran dengan beralih kepada produk kosmetik (alas bedak, bedak padat, lipstik, maskara, pembayang mata, pemerah pipi dan sebagainya) yang setanding dengan jenama antarabangsa.\nBerdasarkan MOQ (minimum order quantity) atau jumlah pengeluaran unit\nproduk AA yang paling banyak dari kilang, ialah asas cecair (Royal Propolis\nFoundation). Seterusnya, permintaan pada bedak alas muka (Royal Propolis Powder Foundation) juga dilihat tinggi, iaitu lebih daripada 50 000 unit terjual dalam tempoh dua hari, dan terkini dijangkakan untuk edisi raya, hampir ratusan unit permintaan daripada pengguna.\nAtas kepercayaan dan permintaan yang tinggi, Alha Alfa Kosmetik telah menubuhkan beberapa anak syarikat di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor (IOI City Mall, Jakel Mall, Setapak Central Mall, Bangi Sentral, dan Shah Alam). Tambahan lagi, dengan hasil kegigihan dan ketekunan dalam meletakkan kepercayaan produk kepada pelanggan, AA kini berjaya melebarkan sayap ke negara jiran (Indonesia dan Singapura) pada sekitar tahun 2020 untuk menawan pasaran kosmetik ke seluruh negara Asia.\nIOI City Mall, Putrajaya.\nJakel Mall, Kuala Lumpur.\nSetapak Central Mall, Kuala Lumpur.\nBangi Sentral, Bandar Baru Bangi.\nSeiring dengan niat memartabatkan profesion jurusolek ke peringkat tertinggi, Dato\u2019 Alha turut menerokai bidang produksi dalam program realiti Malaysia Top Make Up Artis untuk mencungkil lebih ramai lagi bakat baharu dan memberikan saingan sihat dalam kalangan jurusolek tempatan. Program yang direncanakan ini sekali gus meletakkan satu persepsi kepada masyarakat bahawa kerjaya ini juga mampu menjanakan pendapatan yang lumayan daripada mereka yang lebih suka makan gaji.\nHampir lima tahun beroperasi, pelbagai masalah dan cabaran yang ditempuhi berjaya diatasi dan perniagaan masih berjalan dengan lancar. Namun begitu, segalanya berubah dalam sekelip mata apabila semua industri, termasuklah Alha Alfa Kosmetik terpaksa menghentikan operasi akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) disebabkan oleh pandemik COVID-19. Dugaan ini merupakan satu tampar dan ujian terbesar yang dirasai oleh syarikat Alha Alfa. Hal ini didapati apabila jualan pasaran menunjukkan kejatuhan yang sangat drastik, iaitu kira-kira 500 peratus kerugian yang dialami.\nSegala perniagaan tutup beroperasi, kerja pula semuanya terpaksa dilakukan di rumah sahaja. Pada masa itu, timbul rasa gelisah dan kebuntuan. Bagaimanakah cara untuk mengekalkan perniagaan ini dan membayar gaji pekerja? Jadi, perkara yang terlintas dalam fikiran ialah Alha Alfa Kosmetik perlu menukar strategi pemasaran. Yang sebelum ini hanya mengeluarkan produk kosmetik, kini perlu mengeluarkan produk lain, yakni produk penjagaan kulit dan produk kesihatan. Mungkin mereka tidak bersolek jika di rumah, tetapi penjagaan kulit perlu dijaga dan dirawat. Waktu inilah waktu terbaik untuk mencerahkan wajah, merawat masalah jerawat dan mencantikkan kulit.\nBenarlah, setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaiannya. Saya bersyukur dengan pelbagai masalah dan risiko yang dihadapi, saya dan pekerja banyak belajar untuk lebih bersedia dan cekap dalam mengendalikan perniagaan. Kami perlu kreatif dalam mencari jalan penyelesaian, terutamanya dalam aspek pengurusan, pengeluaran dan pemasaran,\u201d katanya lagi,\u201d ujar Dato\u2019 Alha Alfa.\n\nMengulas tentang kekuatan produk AA, Dato\u2019 Alha menegaskan bahawa produk keluaran syarikatnya ialah berasaskan bahan organik, malah mendapat kelulusan ujian makmal, serta diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Produk AA bukanlah berkisarkan produk yang sudah dikeluarkan oleh pengasas lain dan hanya menukarkan pelabelan produk. Perkara ini bukanlah suatu perniagaan yang sihat, malah merosakkan kredibiliti industri kosmetik di Malaysia. Berniaga tanpa ilmu dan kemahiran dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), kebarangkalian perniagaan itu sukar untuk kekal stabil dan berkembang luas seperti syarikat pesaing. Akhirnya, hal ini demikian menciptakan satu persepsi buruk kepada pengasas kerana hanya memikirkan keuntungan daripada mementingkan kualiti produk.\nBagi mencapai standard terbaik dan sentiasa memenuhi kepuasan pengguna, produk AA turut menghasilkan kandungan atau tekstur yang bersesuaian dengan jenis kulit dan warna kulit rakyat Malaysia. Pentingnya pemilihan kandungan produk pada wajah bukan sahaja untuk mendapatkan kesan kulit yang licin atau putih, malah mengambil kira keadaan cuaca persekitaran supaya solekan kekal sempurna tanpa cela atau kesan sampingan.\n\u201cSebagai jurusolek artis, saya mengkaji trend semasa. Maksudnya, saya perlu mengetahui produk antarabangsa yang terbaharu untuk diperkenalkan kepada rakyat Malaysia. Strategi pemasaran ini secara tidak langsung mempamerkan keupayaan industri Malaysia juga berada dalam landasan pasaran kosmetik atau dipanggil sebagai intrend yang setanding dengan produk global. Kita sebenarnya mampu menghasilkan produk yang sama, malah dapat meletakkan harga yang berpatutan kepada rakyat untuk menggunakan produk tersebut,\u201d jelas Dato\u2019 Alha Alfa.\nOleh itu, bergerak seiring dengan revolusi industri kecantikan dan solekan,\nAA juga menghasilkan produk yang berteknologi tinggi, iaitu bedak padat (Royal Propolis Powder Foundation) yang menggunakan pelbagai elemen dalam satu produk sahaja. Yang menariknya, produk ini memberikan satu kemudahan atau jalan pintas kepada pengguna untuk menata rias wajah dalam tempoh yang ringkas dan dapat berjimat cermat. Kelebihan yang diformulasikan dalam Royal Propolis Powder Foundation merangkumi kesemua elemen seperti bedak padat, alas bedak, sahap noda dan pelindung sinar ultra ungu.\n\u201cItulah keunikan formulasi pada produk Alha Alfa yang membezakan dengan produk yang lain,\u201d kongsinya lagi. Selain mengembangkan imej dan jenama syarikat, sebagai pengasas dan usahawan yang berjaya, Dato\u2019 Alha mengambil inisiatif dengan cara membantu usahawan kecil dan golongan yang berpendapatan kecil membabitkan diri dalam bidang keusahawanan. Sedar akan persaingan negara yang banyak dimonopoli oleh orang luar, Dato\u2019 Alha tekad untuk berkongsi cara dan teknik perniagaan terbaik bagi membantu meningkatkan taraf dan kualiti hidup.\nDengan membuka peluang melalui pelibatan dalam pasukan AA, seperti menjadi stokis, ejen, dan pesan hantar (dropship), mereka mampu menjana pendapatan sampingan dan mempelajari ilmu keusahawanan. Lebih mengejutkan, mereka ini kebanyakannya datang daripada golongan yang tidak disangkakan (seperti suri rumah dan guru sekolah) dan tidak mempunyai pengalaman berniaga, namun boleh berjaya mencapai jualan sehingga mencecah RM5 juta dalam setahun.\n \n\u201cSetiap minggu, AA akan mengadakan aktiviti dan kelas pembelajaran untuk perkongsian ilmu tentang keusahawanan, teknik pemasaran yang efisien dan cara penggunaan produk dengan betul. Selain itu, ahli kimia dalam R&D AA juga turut serta bagi meyakinkan setiap ejen akan kelebihan kandungan produk AA. Dalam hal ini, ejen bukan sekadar menjual produk, tetapi mengetahui kelebihan formula pada setiap produk tersebut.\u201d\n\u201cSaya yakin dengan kesemua ilmu dan kemahiran yang digilap dalam kelas pembelajaran ini, tidak mustahil suatu hari mereka dapat menjadi seorang pengurus atau pentadbir yang berjaya membina perniagaan sendiri. Saya percaya semakin banyak kita berkongsi rezeki, maka semakin banyak pulangan dan ganjaran yang diperoleh bersama-sama. Hasilnya, dalam usaha kami membantu orang lain menjana pendapatan, jenama Alha Alfa itu sendiri dapat berkembang luas, malah memberikan persepsi yang positif kepada masyarakat umum. Hidup ini perlulah saling menyokong antara satu sama lain untuk lebih berjaya,\u201d pesan pengasas kosmetik yang berjiwa besar ini sebelum mengakhiri sesi wawancara." "Hobi Perkukuh Ekonomi, Tenangkan Jiwa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHobi merupakan aktiviti yang dilakukan untuk keseronokan dan kegembiraan, khususnya ketika waktu lapang, tetapi bukannya sebagai sejenis pekerjaan. Hal ini termasuklah mengumpul barang atau objek tertentu, aktiviti sukan dan melancong dan lain-lain yang membawa impak emosi atau psikologi.\nHobi pilihan seseorang rata-ratanya tidak melibatkan barang atau aktiviti mendesak seperti keperluan makanan, ubat, pakaian mahupun kediaman, sebaliknya sesuatu yang mempunyai nilai tambah kepada keselesaan, kepuasan diri dan memenuhi kehendak emosi atau psikologi.\nJika dahulu ramai mengumpul setem, helaian daun, penutup botol, barang-barang terpakai atau murah, melukis dan membaca untuk nilai sentimental, hobi moden dilihat lebih mahal dan menjadi penanda aras tahap kemewahan individu. Ada yang mengumpul barang kemas, kenderaan mewah, aksesori kenderaan, pakaian berjenama, barang permainan, permainan video, bersukan, melancong dan banyak lagi. Memancing pula menjadi antara hobi yang dahulunya tidak memerlukan belanja besar, tetapi kini dianggap sebagai satu daripada industri besar dengan pelbagai pilihan produk mahal untuk pemancing tegar.\nLain orang lain hobinya. Tidak kurang juga ada yang memandang sinis hobi kegemaran pasangan, ahli keluarga atau rakan-rakan seolah-olah aktiviti sia-sia, membazir dan membuang masa tanpa menyedari \u201cindustri hobi\u201d menjadi antara penyumbang utama ekonomi dunia.\nMengambil contoh industri barang mainan di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2019, selaku pengimport utama barang mainan dunia bernilai A.S.$97.2 bilion (RM402 bilion) dengan lebih 623 000 peluang pekerjaan dalam industri tersebut (di AS sahaja). Industri permainan video global pada tahun 2018 pula bernilai A.S.$118 bilion (RM488 bilion) dan dianggarkan melangkaui A.S.$138 bilion (RM571 bilion) pada tahun 2021.\nPasaran aksesori kereta pada 2019 dianggarkan bernilai A.S.$175 bilion (RM723.7 bilion) dan dijangka melangkaui A.S.$314 bilion (RM1.3 trilion) pada 2027. Pasaran produk sukan pada 2018 pula dianggar bernilai A.S.$471 bilion (RM1.95 trilion). Pasaran bahan cetakan pada 2019 bernilai A.S.$258.7 bilion (RM1.07 trilion) dengan segmen buku mewakili A.S.$128.2 bilion (RM530 bilion) daripada jumlah tersebut.\nPasaran global untuk produk pakaian pula mencecah A.S.$1.5 trilion (RM6.2 trilion) pada tahun 2020 dan dijangka melangkaui A.S.$2.25 trilion (RM9.3 trilion) menjelang tahun 2025. Industri peralatan memancing rekreasi (bukan nelayan) global bernilai A.S.$671 juta (RM2.77 bilion) pada tahun 2017, tetapi dianggarkan membawa pulangan ekonomi lebih 20 kali ganda kepada ekonomi tempatan (tempat mereka memancing) susulan aktiviti tersebut berkait rapat dengan sewaan bot, pemandu pelancong, penginapan dan lain-lain.\nSelain impak kewangan dan petunjuk tahap kemewahan individu, hobi dianggap sebagai penanda aras penting bagi menunjukkan tahap kegembiraan seseorang, komuniti, negara mahupun pada peringkat dunia. Mereka yang dibelenggu kesukaran teruk seperti kebuluran mahupun peperangan tidak berkesempatan atau tiada keinginan ke arah hobi kerana lebih mengutamakan kelangsungan hidup. Rata-ratanya, hobi merupakan satu bentuk riadah yang diamalkan mereka yang hidup selesa dan mempunyai lebih banyak masa lapang daripada beban mencari rezeki untuk diri dan keluarga.\nAda juga daripada golongan ini menggunakan alasan masa dan duit yang dihabiskan untuk hobi mereka sebagai satu bentuk pelaburan,\u00a0tetapi malangnya jarang sekali sesuatu hobi membawa pulangan fizikal (kecuali emas dan barang kemas), pengamal hobi kebiasaannya cuma memberi \u201csumbangan\u201d satu hala kepada industri yang menyediakan produk atau perkhidmatan berkaitan dengan aktiviti tersebut.\nImpak utama dan lebih penting daripada aktiviti ini adalah kepada kesejahteraan emosi dan psikologi individu serta berkumpulan, bagi jangka pendek dan jangka panjang. Pengamal hobi tertentu kebiasaannya menyertai persatuan, kumpulan atau rakan-rakan yang mempunyai hobi serupa dengan sebahagian daripadanya mengadakan festival atau program tertentu untuk meraikan minat mereka." "Tempuh Risiko Demi Segenggam Kejayaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSiapa sangka, dengan niat permulaan hanyalah sekadar untuk membantu kawan, kini bergelar seorang jurusolek, usahawan dan pengasas syarikat yang profesional bertaraf global serta berpengaruh. Kejayaan yang diraih sehingga dinobatkan sebagai antara 100 Ketua Pengawai Eksekutif Muda Terkemuka di Malaysia, nyata memberikan semangat dan inspirasi baharu\nkepada masyarakat, khususnya golongan muda dan Bumiputera untuk terus melangkah melakar kejayaan hidup.\nDilahirkan di Hospital Besar Kuala Lumpur dan kini berusia 33 tahun, Dato\u2019 Al Halim Mohd. Al Fadzil atau lebih mesra dengan panggilan Dato\u2019 Alha Alfa merupakan pengasas Alha Alfa Kosmetik di bawah naungan Alha Alfa Rich Legacy Sdn. Bhd. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Seri Sekamat, Kajang (1995\u20132000), kemudiannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi (2001\u20132005). Dengan kelayakan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia yang cemerlang telah melayakkan dirinya untuk menyambung pengajian ke peringkat diploma (2006\u20132009) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Seri Iskandar, Perak (Diploma Rekabentuk Dalaman). Seterusnya, dengan minat dalam pembelajaran beliau berjaya memiliki segulung Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Dalaman dengan kepujian (2010\u20132012) di UiTM Shah Alam.\n\n\u201cUntuk berjaya, corak minda yang kreatif dan sifat keberanian perlu diterapkan dalam diri.\u201d\n\u2013 Dato\u2019 Al Halim Mohd. Al Fadzil, Pengasas Alha Alfa Kosmetik, Antara 100 Ketua Pengawai Eksekutif Muda Terkemuka di Malaysia.\n\n\u201cKejayaan saya tidak terjadi dalam sekelip mata dan semudah yang dijangkakan. Ayah saya seorang tukang kebun, manakala ibu seorang pengasuh. Pernah ketika dahulu sewaktu kami ketiadaan duit, tetapi keinginan untuk hidup seperti orang lain, saya dan ayah pergi ke tempat pembuangan sampah untuk mencari barangan terpakai. Walaupun kita tidak mempunyai duit, pesan ayah saya, dengan adanya kreativiti dan kegigihan dalam diri, nescaya kita juga mampu berjaya seperti orang lain,\u201d kongsi Dato Alha.\nPerjalanan hidup yang datang daripada keluarga serba-serbi kekurangan, anak sulung daripada tiga adik-beradik ini nekad menyimpan semangat dan iltizam untuk membantu ekonomi keluarganya, selain daripada mencapai kejayaan demi masa depan. Seawal usianya muda lagi pelbagai inisiatif yang dilakukan demi membantu menyara keluarga. Antaranya, termasuklah mengambil upah sebagai tukang cat, membuat tangga rumah, dan membantu keluarga berniaga, serta mencari pekerjaan sambilan lain. Sejarah perjalanan dan titik kejayaan yang terbesar ialah bermula pada ketika Dato\u2019 Alha sedang melanjutkan pengajian pada peringkat diploma, sewaktu mengikuti rakannya menjayakan projek akhir tahun dalam sesi penggambaran model. Setelah berkali-kali menemani rakannya membuat sesi penggambaran, pasti akan timbul masalah yang sama, iaitu kekurangan \u201ctukang mekap\u201d untuk menyolekkan model mereka.\nMaka, berbekalkan ilmu dan kemahiran berkaitan dengan bidang seni reka, Dato\u2019 Alha menawarkan diri untuk menyiapkan solekan kepada model rakannya. Ketika itu, beliau yakin dan berpendapat bahawa teknik solekan tidak lari jauh dengan kos pengajian seni reka, yang tetap mengaplikasikan teknik seperti melukis, berimaginasi dan penggabungan elemen warna. Tambahan pula, teknik solekan pada tahun 2009 ketika itu sangat ringkas, hanya menggunakan asas cecair, alas bedak, pembayang mata dan lipstik. Untuk menampilkan model rakannya lebih menonjol dan terserlah, beliau melukis corak burung merak pada matanya untuk memberikan kesan yang menarik.\nPenglibatan secara tidak sengaja ini menjadi buah mulut dan perhatian ramai pelajar (khususnya jurusan Fotografi), malah dalam kalangan pensyarah apabila gambar model tersebut dipilih sebagai pemenang gambar terbaik, dan akhirnya berjaya memasuki ke galeri UiTM sebagai paparan umum. Pengiktirafan ini mendorongnya untuk tidak lagi menoleh ke belakang dan yakin untuk menceburi dunia solekan bagi menjana pendapatan tambahan.\n\u201cBerani mengambil risiko merupakan titik ukur kejayaan seseorang, selain mendapatkan keberkatan daripada orang tua kita. Apabila sudah ada keberanian, keyakinan dan tujuan untuk mengembangkan perniagaan pada peringkat yang lebih besar, kita akan buat sebaik-baiknya yang mungkin. Profesion solekan bukanlah suatu kerja khas untuk wanita sahaja. Usah fikir perkara itu tidak berjaya, sedangkan belum pernah mencuba,\u201d kongsinya.\nKegagalan bukanlah satu perkara yang asing bagi seseorang yang bergelar usahawan. Bagi mencapai tahap sebagai seorang usahawan yang berjaya, Dato Alha\u2019 mengakui turut tidak kecuali merasai kejatuhan dalam aturan perniagaan. Namun begitu, kegagalanlah yang memandu seseorang kepada kejayaan. Setiap orang, khususnya usahawan, tidak boleh mempunyai sifat mudah putus asa dalam mengejar cita-cita dan impian.\nRahsia kejayaan Dato\u2019 Alha sering dipuji dan disegani ramai, kerana niat hatinya yang telus dalam membantu kesusahan orang di sekelilingnya. Selain membantu keluarga dan rakannya, beliau juga turut membantu masyarakat umum untuk meningkatkan sumber pendapatan, di samping sentiasa berkongsi ilmu tentang dunia keusahawanan. Kini, hampir lebih daripada 2000 orang pelajar berada di bawah didikan akademik saya.\nDalam meniti perjalanan kariernya, Dato\u2019 Alha turut memberikan gambaran perspektif bahawa usahawan merupakan antara individu yang paling dinamik dan penting untuk menjadi tulang belakang dan nadi penggerak ekonomi sesebuah negara. Setiap usahawan perlu menanamkan sifat kegigihan dan keyakinan diri yang berlandaskan visi dan misi hidup yang signifikan.\nDato\u2019 Alha turut tegas mengingatkan usahawan untuk tidak serik dalam menguruskan perniagaan walaupun sudah tiga atau empat kali jatuh dan tidak berjaya. Sesungguhnya rezeki Allah itu sangat luas. Percayalah, kejayaan bakal menjadi milik kita jika adanya pegangan hidup." "Program e-Belia: Tebus RM150 Mulai 1 Jun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nPUTRAJAYA, 17 Mei 2021 \u2013 Menerusi bantuan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) terbaharu, kerajaan sekali lagi menawarkan penebusan e-tunai dengan kenaikan daripada RM100 kepada RM150 di bawah program e-Belia bermula 1 Jun hingga 22 Julai ini.\nMenurut Kementerian Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, kira-kira dua juta belia warganegara layak menuntut inisiatif ini dan digalakkan untuk mengemas kini akaun di aplikasi e-tunai masing-masing atau memuat turun aplikasi e-tunai tersebut sebelum 1 Jun 2021.\nInisiatif e-Belia ini boleh dibelanjakan sehingga 31 Julai ini. Golongan belia yang layak ialah mereka yang berusia antara 18 tahun hingga 20 tahun, serta pelajar sepenuh masa peringkat diploma atau Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 4 (SKM4) dan ke atas di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan yang berdaftar.\nTuntutan e-Belia boleh dilakukan melalui empat saluran penyedia perkhidmatan e-tunai, iaitu BigPay, Boost, ShopeePay dan Touch \u00e2\u20ac\u02dcn Go e-wallet, yang secara keseluruhannya mempunyai 30 juta pengguna aktif dan jaringan lebih daripada satu juta peniaga di dalam dan luar talian.\nSetiap tuntutan kredit e-tunai dalam satu daripada penyedia perkhidmatan e-tunai ini akan disertakan dengan insentif tambahan dalam bentuk wang tunai yang dikembalikan (cashback), baucar dan mata terkumpul oleh penyedia perkhidmatan e-tunai yang dipilih sepanjang tempoh kempen,\u201c katanya lagi dalam kenyataan pada hari ini.\nTambahan lagi, Tan Sri Dato\u2019 Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia juga berkata program e-Belia dengan peruntukan RM300 juta di bawah program PEMERKASA diwujudkan bagi meringankan beban kewangan, malahan menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai dalam kalangan belia IPT." "Kepenggunaan dan Kesannya kepada Perubahan Iklim\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIklim global yang semakin panas dan tidak stabil disebabkan oleh pencemaran karbon pada atmosfera yang berpunca daripada tindakan manusia itu sendiri. Kajian dalam Journal of Industrial Ecology pada tahun 2016 menunjukkan bahawa sebanyak 60 peratus pelepasan gas rumah hijau global berlaku dan hampir 80 peratus penggunaan air di dunia.\nAnalisis mendapati bahawa 20 peratus daripada semua kesan karbon ialah berpunca daripada pengguna secara langsung. Lebih mengejutkan, empat perlima daripada kesan yang boleh dikaitkan dengan pengguna bukan kesan langsung, namun kesan sekunder atau kesan alam sekitar dalam penghasilan barangan dan produk yang dibeli oleh mereka. Sebagai contohnya, mereka menggunakan air lebih banyak apabila mengambil daging berbanding dengan ketika mandi. Pilihan pengguna sebenarnya mempunyai kesan yang tinggi berbanding dengan perkara yang dilakukan secara bersendirian.\nOleh sebab itu, hal ini penting untuk memilih produk yang menggunakan sumber yang sedikit seperti air, tenaga atau bahan mentah untuk menghasilkannya. Contoh penggunaan air yang baik mengambil purata kira-kira 15 415 liter air untuk menghasilkan satu kilogram daging. Penyelidikan terbaharu menunjukkan tanpa pengambilan tenusu dan daging, penggunaan tanah ladang global boleh dikurangkan hingga 75 peratus, bersamaan keluasan gabungan Amerika Syarikat, China, Kesatuan Eropah dan Australia, namun masih boleh memberikan makanan kepada dunia merupakan satu daripada inisiatif terbesar yang boleh dilakukan untuk mengurangkan kesan terhadap bumi.\nAmalan pengambilan sayuran boleh menjadi satu inisiatif terbesar untuk mengurangkan kesan alam sekitar ke atas bumi. Menurut penyelidik dari Universiti Oxford,\u00a0 membuang daging dan produk tenusu daripada diet dapat mengurangkan jejak tapak karbon individu daripada makanan hingga 75 peratus. Pembuatan makanan proses memerlukan tenaga, bahan dan air untuk mendapatkan bahan mentah, mengangkutnya ke tempat pemprosesan, menghasilkan barangan makanan proses dan kemudian membungkus produk akhir. Coklat merupakan satu daripada produk paling intensif air yang pengguna membeli dengan menggunakan 17 000 liter untuk menghasilkan sekilogram coklat.\nSelain itu, industri fesyen menyumbang 10 peratus daripada pengeluaran karbon oleh manusia yang mengeringkan sumber air dan mencemarkan sungai, serta saliran. Dengan lebih daripada satu bilion helai pakaian dihasilkan setiap tahun, industri pakaian merupakan pencemaran kedua terbesar dunia selepas industri minyak. Dari tapak pelupusan sampah hinggalah kepada pengeluaran gas rumah hijau, daripada penggunaan bahan kimia kepada sisa air, industri fesyen telah mencemarkan bumi dengan rakus sekali. Industri fesyen mengeluarkan pakaian di seluruh dunia dengan sesuatu yang dipanggil \u201cfesyen segera\u201d apabila dihasilkan dengan cepat dan murah atas dasar permintaan dan kehendak pengguna yang ingin bergaya, pantas dan kerap berubah.\nDi Eropah, syarikat fesyen menawarkan purata dua koleksi setahun pada tahun 2000 meningkat kepada lima koleksi pada tahun 2011. Sesetengah jenama menawarkan lebih banyak lagi koleksi. Sebagai contohnya, Zara mengeluarkan 24 koleksi setahun, manakala H&M menawarkan antara 12 koleksi dan 16 koleksi setahun.\u00a0Fesyen segera melahirkan budaya pakai buang. Menurut laporan pada tahun 2013, industri pakaian global menghasilkan 150 bilion helai pakaian pada\u00a0tahun\u00a02010, cukup untuk menyediakan 20 helai pakaian baharu bagi setiap orang di atas muka bumi dan semakin buruk sejak dari itu.\nNatijahnya, banyak daripadanya berakhir di tempat pembuangan sampah seperti dilaporkan Business Insider, Amerika Syarikat pada tahun 2019. Hal ini menyamai satu lori sampah penuh pakaian dibakar atau dibuang di tapak pelupusan sampah pada setiap saat. Hal ini bermakna, 85 peratus tekstil berakhir di situ pada setiap tahun \u2013 cukup untuk memenuhi Sydney Harbour dalam setahun, kata laporan itu lagi.\nPengeluar pakaian meningkat dua kali ganda sejak tahun 2000. Pengguna secara purata membeli 60 peratus lebih banyak pakaian, tetapi mereka hanya memakai separuh dan menyimpan baki pakaian yang ada. Memandangkan pengguna di seluruh dunia membeli lebih banyak pakaian, pasaran yang semakin berkembang bagi gaya baharu kini mengancam alam sekitar. Banyak tenaga diperlukan bagi menghasilkan pakaian baharu setiap tahun dan kebanyakan negara pengeluar pakaian menggunakan kuasa arang batu. Hal ini menjelaskan industri pakaian perlu bertanggungjawab terhadap 10 peratus daripada semua pengeluaran karbon global. Pengeluaran pakaian juga menggunakan tanah dan air secara intensif, yang diburukkan lagi secara hakikatnya industri pakaian merupakan satu perkara yang paling mencemarkan, iaitu kemasukan bahan kimia toksik ke dalam bekalan air di seluruh dunia.\nMembuat sepasang jean menghasilkan gas rumah hijau seperti memandu kereta lebih daripada 80 batu. Manakala, satu helai kemeja T menggunakan 2700 liter air untuk membuatnya bersamaan 1350 hari air minuman bagi seorang individu. Sehelai kemeja T dan jean yang kita pakai menggunakan 20 000 liter air untuk menghasilkannya. Industri fesyen merupakan pengguna terbesar kedua air di seluruh dunia yang menggunakan kira-kira 700 gelen air untuk menghasilkan sehelai baju kapas. Kadar itu cukup untuk seorang itu minum sekurang-kurangnya lapan cawan air sehari selama tiga setengah tahun kerana jean dan baju dibuat daripada tumbuhan yang memerlukan banyak air, iaitu kapas. Contohnya di Uzbekistan, pertanian kapas menggunakan begitu banyak air dari Laut Aral sehingga kering selepas kira-kira 50 tahun. Laut Aral merupakan satu daripada empat buah tasik terbesar dunia, namun kini seperti gurun dan tinggal beberapa buah kolam kecil sahaja.\nSelain itu, industri fesyen segera juga turut menghasilkan 1.2 bilion tan karbon dioksida setahun. Pelepasan karbon lebih tinggi berbanding dengan perjalanan udara dan perkapalan antarabangsa. Sekiranya sektor fesyen terus dengan keadaan ini, karbon akan meningkat kepada 26 peratus menjelang tahun 2050 seperti dilaporkan Yayasan Ellen MacArthur.\nDalam usaha untuk mengekalkan permintaan fesyen yang pantas berubah mengikut gaya, serat asli sebahagian besarnya telah diganti dengan serat sintetik, yang dinamakan fabrik diperbuat daripada minyak iaitu plastik. Poliester berasaskan minyak kini menggantikan kapas sebagai serat utama dalam pakaian. Lebih 60 peratus serat fabrik kini sintetik (kebanyakan poliester), diperoleh daripada bahan api fosil. Menghasilkan poliester melepaskan dua hingga tiga kali lebih banyak pelepasan karbon berbanding kapas.\nSifat poliester tidak terurai. Oleh itu, apabila pakaian dibuang ke tapak pembuangan sampah, pakaian tersebut didapati tidak reput. Selain itu, proses mencuci pakaian pula melepaskan 500 000 tan serat mikro ke dalam laut pada setiap tahun, yang bersamaan 50 bilion botol plastik. Serat mikro sintetik ini ditemukan dalam bahagian paling dalam lautan dan kemuncak tertinggi glasier.\nSehubungan dengan itu, proses mewarnakan tekstil juga merupakan pencemar air kedua terbesar di dunia, memandangkan sisa air daripada proses mewarnakan itu sering dibuang ke dalam parit, saliran atau sungai. Dalam konteks ini, proses mewarnakan ini sebenarnya menggunakan air yang banyak untuk mengisi dua juta buah kolam renang bersaiz Olimpik pada setiap tahun.\nKesimpulannya, masalah alam sekitar sebenarnya terletak pada sesuatu barangan yang dibeli. Corak perbelanjaan dan penggunaan membantu manusia untuk pemulihan alam sekitar, seterusnya dapat mengurangkan kesan rumah hijau dan mampu memberikan kesan baik kepada perubahan iklim. Pengguna seharusnya bijak dalam memilih barangan mesra alam dan membeli mengikut keperluan serta mengelakkan daripada amalan membazir.\nJadilah pengguna yang bijak demi kesejahteraan masa hadapan!" "Pendidik, Ekonomi Islam dan Pandemik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Berdikari dengan Kepelbagaian Sumber Pendapatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAkhbar tempatan pada Disember 2020 melaporkan 43 peratus atau bersamaan 5.38 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah usia 55 tahun mempunyai simpanan bawah RM10 000 dalam Akaun 1. Hal ini bermakna mereka hanya mempunyai simpanan sebanyak RM41 untuk dibelanjakan pada setiap bulan bagi tempoh 20 tahun sekiranya mengambil kira purata tempoh hayat rakyat Malaysia kini sekitar 75 tahun.\nBerdasarkan kajian, sebanyak 137\u00a0000 daripada 245\u00a0000 ahli KWSP berumur 54 tahun pada tahun 2020 pula mempunyai simpanan kurang daripada RM50\u00a0000,\u00a0iaitu RM200 duit perbelanjaan bulanan. Bekalan hidup bulanan ini sangat jauh daripada paras kemiskinan negara,\u00a0iaitu RM2208 untuk isi rumah dan RM2450 untuk perbelanjaan asas seorang warga emas, seperti hasil kaji selidik oleh Social Wellbeing Research Centre.\nTambahan pula, hal ini ditambah beban lebih daripada 600\u00a0000 pencarum KWSP dibuang kerja, dan sebahagian besarnya terpaksa memilih untuk membuat pengeluaran kecemasan melalui skim i-Lestari dan i-Sinar disebabkan oleh keadaan yang terdesak ketika berdepan dengan impak COVID-19. Bantuan moratorium bank\u00a0tempatan sehingga mencecah tempoh 12 bulan turut membantu, namun sejauh manakah\u00a0semua itu dapat menjamin kelangsungan hidup rakyat yang semakin terhimpit?\nSejak berpuluh-puluh\u00a0tahun lamanya,\u00a0sistem pendidikan sehingga ke peringkat universiti lebih cenderung ke arah hidup sebagai seorang pekerja dan mengutamakan \u00a0sijil sebagai batu loncatan ke arah kerjaya hebat di bawah majikan. Dalam sesetengah perkara, apa yang dipupuk itu mungkin menjamin kelangsungan dan keselesaan hidup bagi diri\u00a0dan keluarga.\n\nWalau bagaimanapun, kebebasan kewangan individu sebenarnya lebih menjaminkan kestabilan ekonomi, bukan sahaja untuk diri dan keluarga, malah terhadap negara. Jika seseorang mampu berdikari dari sudut kewangan, mereka tidak perlu takut atau gentar terhadap ancaman mahupun tekanan akibat kehilangan satu daripada sumber pendapatan yang ada, kerana kemampuan berbelanja tidak terjejas.\nRata-rata golongan pekerja di negara ini masih selesa dengan hanya satu sumber pendapatan dan dikatakan bergantung 100 peratus kepada gaji tunggal yang masuk pada setiap bulan. Malangnya, kebanyakan daripada gaji itu terus digunakan untuk membayar hutang dan akhirnya terpaksa hidup dengan \u201cwang plastik\u201d\u00a0sehingga gaji berikutnya. Kitaran ini berulang-ulang pada\u00a0setiap bulan bagi ramai golongan pekerja B40 dan M40.\nTanpa mengambil kira golongan kaya yang sudah tidak perlu bekerja, golongan B40 dan M40 sebenarnya perlu belajar mencari sekurang-kurangnya satu pendapatan sampingan atau pendapatan \u00a0pasif supaya mampu berdikari tidak kira apa jua situasi.\nWabak COVID-19 menjadi contoh mudah, kebanyakan golongan pekerja dengan gaji tunggal berdepan kesukaran meneruskan hidup apabila majikan mengurangkan pekerja atau menutup operasi. Ada yang mempunyai simpanan cukup untuk meneruskan hidup sementara mendapat pekerjaan\u00a0lain atau sumber pendapatan baharu, mungkin dengan berniaga kecil-kecilan, menjadi penghantar barang dan e-panggilan (e-hailling).\nNamun\u00a0begitu, tidak kurang juga yang menemui jalan buntu kerana tidak tahu ke mana lagi mahu dituju kerana usia sudah lanjut, kesihatan tidak mengizinkan, tiada kemahiran atau kelayakan, serta rata-rata majikan kini cuba mengurangkan kos operasi dan enggan mengambil pekerja baharu atau menawarkan gaji jauh lebih rendah berbanding\u00a0dengan\u00a0dahulu.\nSampai masa untuk setiap rakyat Malaysia tidak lagi mengharapkan gaji tunggal, sebaliknya cuba berniaga, bertani, bertukang, menghasilkan karya seni komersial, melabur, bekerja dalam talian dan apa jua yang mampu membawa pendapatan halal. Selain itu, menggunakan kemudahan Internet untuk mempelajari pelbagai ilmu dan kemahiran khusus untuk memperoleh sumber pendapatan\u00a0sampingan, seterusnya mendidik anak-anak berdikari dalam aspek kewangan.\nSekiranya mempunyai lebihan simpanan, hal ini boleh digunakan sebagai pelaburan yang membawa pendapatan pasif seperti saham, harta\u00a0tanah dan emas. Langkah inisiatif ini perlu dilakukan segera walaupun sekadar kecil-kecilan untuk berdepan detik sukar seperti pandemik COVID-19 yang berlaku ini. Janganlah\u00a0terus terkurung dalam zon selesa kerana COVID-19 membuktikan sebenarnya tiada apa pun yang terjamin untuk masa hadapan.\nIroninya, terdapat banyak syarikat besar sudah pun gulung tikar, ratusan ribu pekerja tidak menjangka jaminan kerja mereka hilang begitu sahaja. Mulakan dari sekarang,\u00a0cara baharu mencari pendapatan dan simpanan, bukan lagi gaji tunggal tetapi\u00a0mempelbagaikan sumber\u00a0carian. Impaknya mungkin mengambil masa, namun sekurang-kurangnya dapat memastikan generasi berikutnya tidak berdepan cabaran serupa hasil cengkaman wabak dan bencana." "Ekonomi Digital yang Menakutkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSejak awal merdeka kita mengenali bank secara tradisional sebagai tempat meyimpan dan meminjam wang. Dekad 1980-an bank meluaskan operasi sebagai pusat pelaburan dan menjadi rakan kongsi pengusaha untuk melabur dalam pelbagai sektor ekonomi. Pada masa yang sama,\u00a0\u00a0pengenalan kad kredit membolehkan urusan jual beli dipermudahkan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh bank pusat. Revolusi ini merupakan sejarah awal perkhidmatan digital sistem perbankan di seluruh dunia.\nProses pendigitalan yang berlaku seiring dengan teknologi komunikasi menjadi keperluan pada masa kini, namun inovasi ni mempunyai kebaikan dan kesan sampingan. Urusan bank berlaku dengan lebih pantas, tepat dan memudahkan. Pada masa yang sama, teknologi memberikan kesan buruk apabila tenaga manusia semakin diimbangi oleh pendigitalan. Hampir 600 buah cawangan perbankan runcit di Malaysia dijangka tutup dalam tempoh 10 tahun akan datang, demikian menurut kajian terkini oleh Roland Berger. Menurut kajian syarikat perunding terkemuka Eropah bertajuk Branching out \u2013 The future of retail banking networks, pengecilan operasi perbankan itu selaras dengan ledakan teknologi kewangan (fintech) yang menyaksikan pelanggan beralih kepada perkhidmatan digital.\nKajian tersebut menjangkakan 18 peratus atau lebih daripada 11 000 buah cawangan bank di Asia Tenggara akan tutup operasi pada 10 tahun akan datang. Thailand, Malaysia, Indonesia dan Filipina mengalami fasa pertumbuhan selama 10 tahun terakhir, namun jumlah cawangan dijangka mulai menurun atau terus mengecil di negara yang sudah menyaksikan trajektori penurunan. Rakan Kongsi Kanan Roland Berger, Philippe Chassat, melaporkan bahawa penutupan cawangan bank di Malaysia juga selaras dengan sasaran jelas kerajaan terhadap perkhidmatan digital.\nSejak beberapa tahun lalu, ekonomi digital tidak asing lagi di negara ini. Sebahagian daripada hasrat Malaysia ialah mengumpul sekurang-kurangnya 15 juta pengguna e-dompet, iaitu hampir separuh daripada populasi menjelang tahun 2025. Kerajaan juga menyokong pelaburan dalam infrastruktur yang diperlukan. Malaysia turut melaksanakan program insentif besar bagi mempercepat penggunaan e-dompet dalam kalangan rakyat. \u00a0Pada tahun lalu, kerajaan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) menyalurkan insentif RM50 kredit e-dompet yang dimanfaatkan kepada 11.36 juta rakyat. Program itu menyaksikan RM567.9 juta dimanfaatkan oleh penerima.\nPenyedia e-dompet yang terbabit dalam program berkenaan iaitu Boost, GrabPay dan Touch n Go eWallet juga menyumbang manfaat berbentuk padanan kredit serta pelbagai insentif lain berjumlah RM433.8 juta dalam usaha merancakkan ekonomi Malaysia. Menjelang 10 tahun ke hadapan, keadaan sosioekonomi dan teknologi di kebanyakan rantau bersedia untuk menyaksikan transformasi dalam rangkaian cawangan bank yang berterusan. Bank di seluruh dunia perlu mempercepatkan perjalanan transformasi cawangan, mengoptimumkan kedudukan dan model perniagaan. Keadaan ini mendorong bank menggunakan kerangka kerja transformasi yang tersusun dan holistik bagi memastikan kejayaan dan kelestarian jangka panjang.\nBidang utama yang harus dipertimbang ialah lokasi yang strategik bagi penempatan cawangan untuk memaksimumkan perkhidmatan pelanggan dan penjanaan pendapatan. Selain itu, bank perlu meningkatkan produktiviti cawangan bagi memaksimumkan keuntungan, memperkayakan pengalaman pelanggan bagi meningkatkan tahap perkhidmatan untuk bersaing dengan bank yang lebih inovatif serta mengubah pemikiran, selain menanamkan teknologi baharu dalam organisasi.\nPegawai kanan di Roland Berger, Dr. Luca Turba, berkata dengan kepantasan dan kemudahan perkhidmatan digital yang kini ditawarkan kepada pelanggan perbankan, bank perlu mengembangkan cawangan dari pusat aktiviti transaksi kepada penyediaan perkhidmatan lebih dekat dengan pelanggan. Katanya, di pasaran perbankan runcit lebih matang seperti Thailand, Malaysia dan Singapura, perkhidmatan juruwang rutin seperti memeriksa tunai, mendepositkan wang dan proses pengeluaran wang semakin banyak digunakan oleh subsegmen pelanggan berusia yang kurang pendedahan terhadap teknologi.\nBerdasarkan trend semasa, cawangan bank besar yang mempunyai ramai juruwang yang khusus untuk melaksanakan transaksi mudah akan tinggal menjadi kenangan. Oleh itu, peranan cawangan bank perlulah terus berkembang pada dekad yang akan datang ke arah menguruskan set aktiviti yang lebih efisien.\nCawangan bank terus memainkan peranan penting walaupun dalam keadaan berbeza. Cawangan bank masa depan di Asia Tenggara mungkin beralih daripada menawarkan transaksi mudah kepada perkhidmatan tambah nilai yang lebih tinggi seperti\u00a0bancassurance dan produk pelaburan,\u201c katanya.\nSejak COVID-19 melanda dunia pada Disember 2019, aktiviti jualan dalam talian meningkat secara mendadak. Aktiviti jual beli dalam talian mencatatkan peningkatan sebanyak 28.9 peratus April 2020 ketika negara menguatkuasakan Perintah Kawalan pergerakan (PKP) yang bermula sejak Mac 2020. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata peningkatan itu dicatatkan ketika sektor perniagaan lain termasuk francais mengalami kesan besar.\nJualan barangan dalam talian menjadikan ekonomi pasaran secara tradisional semakin tercabar. Khidmat kaunter perbankan juga semakin menyusut, secara tidak langsung memberikan gambaran awal pendigitalan ekonomi akan mengambil alih sepenuhnya sistem perbankan tradisional.\nLebih malang kesan persaingan dagangan di antara Amerika Syarikat dan China tidak menampakkan tanda pemulihan walaupun teraju di White House berganti daripada Donald Trump kepada Joe Biden. Sejarah ekonomi membuktikan dasar Republikan dan Demokrat tidak jauh berbeza untuk mengutamakan kepentingan Kapitalis dalam konteks pelaburan sejagat.\nDasar kapitalis adalah untuk mengoptimumkan pelaburan dan keuntungan. Situasi ini memberikan kesan kepada bank yang berskala kecil dan bank asing bertaraf dunia. Beberapa bulan lalu, sebuah bank asing mengumumkan penutupan operasi di Malaysia. Bank tempatan pula dalam proses bergabung sesama sendiri untuk meneruskan hayat operasi mereka ketika keadaan ekonomi tidak menentu.\nHari ini kita bukan sahaja berdepan COVID-19 yang kian ganas, juga ekonomi digital yang mengurangkan tenaga pekerja pada masa akan datang. Teknologi komunikasi dan perdagangan sedang melangkah ke era yang amat menakutkan!" "Teguhkan Bahasa untuk Kewibawaan Jati Diri Bangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n SEREMBAN \u2212Peneguhan sikap dalam kalangan masyarakat terhadap penggunaan bahasa hendaklah diberi tumpuan dalam pengisian program sambutan DBK 2021-2030. Pemupukan sikap tersebut tidak harus dipandang ringan kerana dibimbangi bahawa bahasa yang kurang diungkapkan dalam apa-apa jua suasana akan menghilangkan kewibawaan jati diri bangsa dan bahasa Melayu yang disanjung selama ini akan hilang akarnya.\nMenurut YAB Dato\u2019 Seri Haji Aminuddin Harun lagi, beliau menyokong penuh usaha untuk memartabatkan bahasa ini dan turut menyeru semua masyarakat agar menggunakan bahasa kebangsaan kerana bahasa tersebut yang menyatukan semua bangsa di Malaysia.\nProgram DBK ini perlulah diadakan secara berterusan kerana usaha menanam rasa megah terhadap bahasa kebangsaan bukanlah sifatnya bermusim. Sesungguhnya, peranan dan hak kepentingan bahasa kebangsaan serta sumbangannya dalam mewujudkan masyarakat yang berbudaya tinggi dan memiliki minda kelas pertama amatlah penting.\nDemikianlah antara pesanan dan amanat yang disampaikan oleh YAB Dato\u2019 Seri Haji Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan, yang merasmikan pelancaran majlis tersebut. Yang turut mengiringi beliau ialah YB Dato\u2019 Dr. Razali Ab Malik, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, merangkap Pengerusi PPANS; Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan (Exco); Tuan Haji Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP; Puan Hajah Jamilah Haji Katis, Pengarah PPANS; dan Tuan Haji Hassan Alias, Pengarah DBP Wilayah Tengah.\nProgram DBK dilaksanakan untuk melahirkan bangsa Malaysia dan rakyat Negeri Sembilan yang mengamalkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, seterusnya memupuk masyarakat yang mempunyai minda kelas pertama dan meningkatkan kesedaran serta kecintaan masyarakat terhadap bahasa kebangsaan.\nAntara pengisian program yang mewarnai majlis itu termasuklah Majlis Pelancaran Buku Sajak-sajak Pilihan Dharmawijaya, nukilan Allahyarham Kamaruzzaman Abdul Kadir (Dharmawijaya) yang turut dihadiri oleh anak Allahyarham, iaitu Encik Asrul Effendi Kamaruzzaman, Penolong Kurator, Lembaga Muzium Negeri Sembilan.\nSelain itu, berlangsung juga Majlis Penyerahan Pinjaman Buku Berkelompok kepada empat institusi penjara di bawah Jabatan Penjara Negeri Sembilan, iaitu Penjara Seremban, Penjara Mantin, Penjara Gemas, dan Penjara Jelebu.\nPelbagai program DBK telah berlangsung dari bulan Mei hingga bulan November 2021. Antaranya termasuklah Bengkel Penulisan dan Pendeklamasi Sajak, Pertandingan Penulisan dan Mendeklamasi Sajak, Forum Semarak Bahasa: Uniknya Dialek Negeri Sembilan, Program Sembang Bahasa \u201cBetulkan yang Biasa, Biasakan yang Betul\u201c bersama-sama Sasterawan Negeri Sembilan (Puan Hajah Mahaya Mohd Yassin), Bengkel Pengkaedahan Jawi dan Pertandingan Bercerita Kanak-kanak. Kesemua aktiviti ini telah mendapat penyertaan dan penglibatan yang sangat membanggakan daripada semua pihak.\nMajlis Pelancaran Program Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) Peringkat Negeri Sembilan 2021 telah berlangsung dengan jayanya hasil kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) dengan beberapa jabatan dan agensi, iaitu DBP Wilayah Tengah, PUSPANITA Cawangan Negeri Sembilan, dan Universiti Putra Malaysia (UPM). Majlis pelancaran tersebut diadakan di Perpustakaan Negeri, Seremban 2 pada pukul 10.30 pagi tadi." "Pertanian Bandar Manfaat Besar Buat Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSituasi ekonomi Malaysia pada tahun 2021 masih belum stabil ekoran wabak COVID-19 yang semakin meningkat saban hari. Kerajaan terpaksa mengumumkan tiga kali pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha membendung wabak ini daripada terus menular.\nWalau bagaimanapun, pelaksanaan PKP 3.0 ini diberikan sedikit kelonggaran kepada sektor ekonomi untuk bernafas berbanding dengan pelaksanaan PKP 1.0 yang diadakan pada Mac tahun lepas. Dalam situasi pandemik ini, pelbagai sektor terpaksa menanggung kerugian, tetapi berlainan pula dengan sektor pertanian.\nSektor pertanian menyumbang sebanyak 7.1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun lepas dan sektor ini dianjurkan berkembang pada kadar 4.7 peratus pada tahun ini. Pertanian bandar merupakan antara bidang yang mempunyai manfaat yang besar untuk diterokai oleh masyarakat Malaysia.\nSecara umumnya, pertanian bandar merupakan satu aktiviti yang mampu menghasilkan bahan makanan, pemprosesan makanan, dan pemasaran produk makanan dalam kawasan bandar mahupun pinggir bandar. Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) mentakrifkan pertanian bandar sebagai aktiviti pertanian secara menanam, menaikkan, memproses dan mengedarkan produk pertanian tanpa mengira saiz tanah dan jumlah sumber manusia di bandar dan pekan.\n\u00a0\nSelain itu, Jabatan Pertanian Malaysia pula mentakrifkan pertanian bandar sebagai program yang membantu isi rumah bandar meringankan kos sara hidup melalui pengeluaran sendiri sebahagian daripada bahan makanan. Menurut Mantan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Industri dan Pengembangan), Jabatan Pertanian Malaysia, Dato\u2019 Mohd Anim Hosnan konsep pertanian bandar sebenarnya telah lama wujud dalam sejarah tamadun manusia seperti yang dilakukan oleh kaum Machu Picchu di Peru pada tahun 1450 dan di Taman Babylon yang mana penanaman dilakukan dalam bangunan di kawasan bandar dan kawasan yang agak tinggi.\nDi Malaysia, Program Pertanian Bandar (PPB) diperkenalkan secara rasminya pada tahun 2014 setelah pembentukan bahagian pertanian bandar di bawah Jabatan Pertanian Malaysia pada tahun 2010. Pertanian bandar selalunya dilakukan di kawasan terhad seperti kawasan terbiar, sudut atau ruang kosong termasuk atas bumbung di rumah atau bangunan yang boleh menggunakan beberapa \u00a0kaedah \u00a0seperti aeroponik, fertigasi, teknik filem nutrien (NFT) dan nutripot.\nJumlah penduduk yang meningkat saban tahun menyebabkan proses urbanisasi juga bergerak seiring dengannya. Kepesatan ini mengakibatkan masyarakat di bandar sukar mendapatkan bekalan bahan makanan yang mencukupi dan berkualiti. Maka demikian, pertanian bandar merupakan langkah terbaik untuk mengatasi masalah ini bukan sahaja bagi memenuhi keperluan sendiri tetapi juga masyarakat sekitar. Menurut kajian daripada Dekan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia, Profesor Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin merupakan Ahli Tetap Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN) sesi 2020/2021, didapati bahawa 15 buah negara menunjukkan bahawa aktiviti pertanian bandar berkaitan dengan jaminan makanan, kepelbagaian diet dan diet bernutrisi yang mencukupi. Masyarakat yang menjalankan pertanian bandar secara kecil-kecilan di kediaman masing-masing bukan sahaja tidak mengharapkan kepada pertanian luar bandar semata-mata, tetapi juga mampu mendapatkan bahan makanan yang segar, berkualiti dan bebas bahan kimia dalam menu harian masing-masing.\nMalaysia boleh mencontohi negara yang menyokong usaha pelaksanaan pertanian bandar di negara masing-masing. Seperti di negara jiran, Singapura contohnya menukar tanah kosong mereka menjadi ruang pertanian bandar dalam usaha mengurangkan kebergantungannya terhadap makanan import.\nUsaha untuk merancakkan lagi sektor pertanian termasuklah pertanian bandar dapat dilihat melalui peruntukan sebanyak RM4.79 bilion (pembangunan) dan RM3.278 bilion (pengurusan) dalam Belanjawan 2021. Bahkan antara inisiatif utamanya ialah melibatkan perluasan Program Kebun Komuniti kepada komuniti separa bandar dan luar bandar dengan peruntukan sejumlah RM30 juta.\nAntara contoh Program Kebun Komuniti yang berjaya di Malaysia termasuklah di Perumahan Awam (PA) Seri Perlis 2, Kampung Datuk Keramat dan Program Kebun Komuniti Lapan Timur Seksyen 8, Shah Alam. Program Kebun Komuniti yang diadakan ini bukan sahaja menambahkan pendapatan masyarakat tetapi juga memupuk perpaduan di kalangan masyarakat setempat. Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum memerlukan program seperti ini untuk terus menyatupadukan hubungan antara kaum selain memupuk semangat kejiranan yang semakin luntur dalam kalangan masyarakat bandar Malaysia. Pertanian bandar yang diusahakan secara bersama dengan ahli keluarga masing-masing di sekitar rumah juga mampu merapatkan hubungan antara ahli keluarga.\nBandar dikenali dengan kawasan yang sesak dengan kepesatan pembangunan dan kekurangan kawasan hijau. Pertanian bandar sedikit sebanyak mampu menjadi medium penting bagi mengekalkan kelestarian kawasan bandar dengan meningkatkan jumlah kawasan hijau. Aktiviti ini bukan sahaja mencantikan suasana pemandangan, malah menambahkan kawasan teduhan dan mengawal suhu pada persekitaran kawasan bandar. Tumbuhan hijau mampu menyerap gas karbon dioksida dari udara yang akhirnya mengurangkan kesan gas rumah hijau. Aktiviti bercucuk tanam juga memberikan peluang kepada masyarakat bandar untuk mendekatkan diri dengan alam semula jadi. Kehijauan tumbuhan yang ditanam mampu menjadi landskap yang menarik dan menjadi sebahagian daripada terapi minda masyarakat bandar yang hidupnya sibuk sepanjang hari. Bahkan, melihat pemandangan hijau juga baik untuk kesihatan mata manusia.\nManfaat paling besar melibatkan diri dalam pertanian bandar sudah tentulah dalam aspek mengurangkan kos sara hidup melalui pengeluaran sendiri selain mampu menjana pendapatan tambahan. Menurut kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), sebuah keluarga membelanjakan RM350 secara puratanya sebulan untuk membeli sayur-sayuran, manakala kajian yang lain pula menyatakan 50 peratus hingga 70 peratus daripada pendapatan mereka untuk mendapatkan makanan sehingga menyebabkan ada antara mereka berhadapan dengan situasi miskin bandar. Masyarakat bandar juga mampu mengurangkan kos perbelanjaan dapur apabila boleh memetik hasil sayuran mereka sendiri untuk dimasak.\nDalam suasana ekonomi yang terhimpit dek wabak COVID-19, segala aktiviti yang mampu mengurangkan kos sara hidup perlu dibuat. Pertanian bandar melalui konsep kebun dapur dan sebagainya boleh dilakukan. Bagi mereka yang memiliki tanah, bolehlah mengusahakan kebun sendiri secara kecil-kecilan bukan sahaja mampu mengurangkan kos sara hidup, tetapi juga mampu menjana pendapatan. Menurut pakar pertanian bandar, Izham Alias dalam tulisan Laupa Junus yang bertajuk \u201cPertanian Bandar dan Matlamat Serampang Dua Mata\u201d menyatakan di Amerika Syarikat ada pekebun yang hanya menumpang tanah di halaman jirannya masih mampu menjana pendapatan mencecah ratusan ribu ringgit setahun.\nSecara tuntasnya, pertanian bandar merupakan antara sektor yang perlu diceburi oleh masyarakat kerana mempunyai faedah yang begitu besar. Jika seseorang individu dibuang kerja semasa pandemik ini, rebutlah peluang untuk bercucuk tanam. Sememangnya pertanian bandar banyak cabarannya kerana kebanyakan tempat di kawasan bandar berstruktur bangunan tinggi yang mengganggu pencahayaan bagi aktiviti penanaman. Oleh itu, pada peringkat permulaan, seseorang individu boleh menyertai program Kebun Komuniti anjuran kerajaan di kawasan tempat tinggal masing-masing. Tiada tanah atau tanah yang terhad bukanlah menjadi penghalang kepada pertanian bandar kera teknologi dalam bidang pertanian yang canggih pada masa ini mampu menjadi penyelesaian kepada masalah tersebut." "Berubah Mengikut Dunia Semasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerkembangan teknologi moden dilihat semakin pesat sejak manusia mampu bergerak pantas menggunakan kenderaan di darat, laut dan udara, seterusnya dipacu pembangunan Internet untuk perkongsian ilmu dan maklumat dengan \u201ckepantasan cahaya\u201d. Hal ini membawa kepada banyak perubahan dalam pelbagai industri komersial yang kini sepatutnya sudah memahami rentak kelangsungan hayat mereka terikat mati dengan kemampuan untuk mengikut permintaan ke arah \u00a0teknologi terkini.\nAntara gambaran yang dilihat ialah kewujudan teknologi kamera digital yang mula dijual secara komersial pada tahun 1989, tetapi dengan pantas membenam industri kamera filem yang telah digunakan di seluruh dunia sejak tahun 1885. Walaupun kemuncak jualan kamera filem dicatatkan pada tahun 1997, tetapi pantas dipotong hasil perubahan pilihan ke arah kamera digital dalam pelbagai industri khususnya media cetak dan pelbagai sektor fotografi, seterusnya mengambil alih pasaran pengguna awam apabila harganya semakin murah.\nWalaupun kamera digital mula dibangunkan sejak tahun 1959, teknologi ini hanya mendapat tempat susulan pembangunan teknologi lensa dan sensor kamera, bateri serta kad penyimpan data. Teknologi digital menjadi pilihan antara lain kerana lebih mudah digunakan, tidak mengambil masa lama untuk memproses gambar, kemampuan menyimpan banyak gambar, resolusi tinggi dan boleh dihantar ke mana sahaja dengan pantas secara dalam talian.\nHal ini menyebabkan beberapa jenama besar pengeluar kamera filem terpaksa gulung tikar kerana gagal mengikut kehendak pelanggan ke arah perubahan semasa sementara beberapa jenama lain berjaya mengekalkan pegangan malah mendahului pasaran kerana mengambil langkah awal memenuhi permintaan pengguna untuk teknologi terkini. Walau bagaimanapun, pembangunan pesat teknologi kamera dalam telefon bimbit dikhuatiri mengancam kelangsungan hayat kamera digital dengan trend jualan semakin menurun sejak awal tahun 2012. Telefon pintar juga dikaitkan dengan kejatuhan mendadak beberapa industri lain seperti media cetak, komputer dan \u00a0jam tangan.\nIndustri media cetak seperti akhbar harian, buku dan majalah kini berdepan cabaran serupa dengan rata-rata pengguna semakin beralih kepada bahan bacaan digital melalui telefon pintar atau komputer. Sejarah bahan cetak sentiasa berubah sejak manusia mula belajar menulis di atas batu, kemudian pada kulit haiwan, logam dan akhirnya secara komersial di atas kertas. Perubahan turut berlaku dalam peralatan menulis, daripada arang, pensel, pen, mesin taip dan komputer.\nNamun begitu, semua perubahan itu didorong faktor permintaan ramai dengan pilihan industri didorong jualan tertinggi di pasaran. Melihatkan sebilangan syarikat media besar di Barat sudah gulung tikar, sukar dijangkakan berapa lama media tempatan mampu bertahan atau mungkin akan berubah ke arah bentuk baharu mengikut trend semasa. Cabaran sama dijangkakan untuk beberapa industri utama lain dalam tempoh hanya beberapa tahun lagi, termasuklah sektor telekomunikasi, petroleum, penjana tenaga elektrik, automotif dan pembinaan.\nPelanggan sektor telekomunikasi kini lebih gemar menggunakan aplikasi mesej percuma, seperti WhatsApp dan Telegram, malah panggilan telefon percuma melalui aplikasi pintar asalkan mempunyai talian Internet. Melalui inisiatif penyediaan Internet percuma di tempat awam, mungkin tiada lagi keperluan melanggan perkhidmatan syarikat telekomunikasi kelak.\nIndustri petroleum pula semakin tenggelam dengan pelbagai jenis teknologi tenaga hijau yang berkembang pesat. Teknologi seperti solar, angin, ombak, geoterma dan bermacam pilihan baharu dijangka menjadi pilihan bagi bekalan tenaga untuk bangunan serta kebanyakan kenderaan, seperti kereta dan kereta api. Situasi ini juga memberikan impak besar kepada pasaran automotif dengan kebanyakan negara di Barat kini mempromosikan kenderaan elektrik atau hibrid sebagai pilihan utama dan telah menetapkan tempoh menghentikan jualan kereta menggunakan petrol.\nTeknologi tenaga hijau yang semakin murah dan mampu milik menarik ramai pengguna malah dijangka akan memberi kesan besar kepada sektor penjana tenaga elektrik, apatah lagi perkembangan teknologi blok binaan yang membolehkan rumah dibina dengan pantas dengan integrasi mudah teknologi hijau khususnya panel solar.\nPenggiat utama sektor komersial ini perlu bersedia berdepan dengan sebarang perubahan besar. Demi kelangsungan secara komersial, setiap industri perlu bersedia berubah mengikut peredaran masa bagi menjamin kelangsungan perniagaan, pendapatan dan jaminan kerja.\nPersoalannya, kini bukan lagi \u201cjika\u201d, tetapi \u201cbila\u201d perubahan itu akan berlaku." "Sunway dan NEC Malaysia Menyokong Ekonomi Digital Menerusi Pusat Kecemerlangan Inovasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR, 27\u00a0Mei 2021 \u2013 Tahun 2021 membuktikan tahun kemajuan untuk Sunway City Iskandar Puteri dan NEC Corporation of Malaysia Sdn. Bhd. (NEC Malaysia), yakni NEC Malaysia menyokong ekonomi digital negara dengan menubuhkan Pusat Kecemerlangan Inovasi (CoE) pertamanya di Malaysia di Menara Sunway Big Box Office, Johor.\nDengan pengembangan empayarnya dari Singapura ke Wilayah Selatan Malaysia, CoE NEC Malaysia beroperasi sementara di Sunway Citrine Hub di Sunway City Iskandar Puteri sambil menunggu persiapan penuh Menara Sunway Big Box Office bagi memindahkan perkhidmatan pengurusan serta operasi pusat perhubungan untuk pelanggan mereka di Asia Tenggara mulai Januari 2023.\nMenurut Gerard Soosay, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway City Iskandar Puteri, perjanjian penyewaan antara pemaju dengan NEC Malaysia dapat memberikan kebaikan kepada rakyat Malaysia dengan mewujudkan peluang pekerjaan, khususnya dalam kawasan perbandaran bersepadu itu, seterusnya menyumbang terhadap pertumbuhan ekonomi pada masa yang sama.\n\u201cPihak Sunway berbesar hati kerana NEC Malaysia memilih Menara Sunway Big Box Office sebagai lokasi pilihan untuk menubuhkan pusat perhubungan serantau pertama di Malaysia. Dengan peluasan operasi NEC Malaysia ke Johor, kami yakin mereka dapat mencakupi pelanggan di rantau Asia Tenggara dengan memberikan perkhidmatan yang lebih cekap kepada pelanggan,\u201d kata Gerard dengan yakin.\nTambahan lagi, Chong Kai Wooi, Pengarah Urusan NEC Malaysia itu sendiri berkata, Sunway City Iskandar Puteri merupakan bandar yang berkembang pesat, maka menjadi lokasi ideal untuk mereka menjalankan pembangunan bandar pintar dan mencapai pembangunan lestari di Malaysia dan rantau ASEAN. Pelaksanaan projek ini diharapkan dapat mengembangkan teknologi perkhidmatan teras digital inovatif dan perkhidmatan yang memberikan nilai sosial yang lebih besar pada masa depan.\n\u201cCoE baharu di Menara Sunway Big Box Office, lebih menumpukan kepada perkhidmatan pengurusan dan penyelesaian bandar pintar, selain membantu membangun, serta melengkapkan bakat tempatan dengan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam kebiasaan baharu. Kami ingin membantu rakyat Malaysia dalam menjadikan negara digital yang inklusif menerusi CoE dan penyelesaian terkemuka di dunia,\u201d kata Chong Kai Wooi ketika sidang media berlangsung.\nTerletak di taman peruncitan format besar pertama Sunway, NEC Malaysia menggunakan keseluruhan tingkat dua daripada 12 tingkat menara pejabat, dengan keluasan lantai kasar sekitar 20 474 kaki persegi dan keluasan lantai bersih sekitar 17 050 kaki persegi. Pembangunan Menara Sunway Big Box Office dijangkakan siap sepenuhnya menjelang suku kedua tahun hadapan dan membolehkan NEC Malaysia beroperasi pada awal Januari 2023.\n\u201cKami yakin Menara Sunway Big Box Office dapat meningkatkan reputasinya oleh sebab tawarannya yang berkualiti, NEC Malaysia memilih untuk bertempat di Sunway City Iskandar Puteri juga membuktikan bahawa perbandaran kami bukan hanya untuk didiami, malah merupakan bandar yang menawarkan potensi untuk berkembang dengan kukuh menerusi langkah penempatan operasi organisasi tempatan dan antarabangsa,\u201d kata Gerard.\nSebagai bandar pintar kedua lestari di Johor, Sunway City Iskandar Puteri bukan sahaja dapat membantu NEC Malaysia dalam meningkatkan imej korporatnya, malahan dapat menyatupadukan kelestarian dalam sesebuah syarikat. Selain itu, dengan kewujudan akses yang pantas bagi infrastruktur awam untuk memastikan kelancaran transit, perbandaran ini terletak lima kilometer dari Pautan Kedua Malaysia-Singapura melalui Coastal Highway Southern Link (CHSL), yang turut menyediakan perkhidmatan bas dari Johor ke Singapura, SoCar dan perkhidmatan bas ulang-alik Iskandar Puteri. Hal ini memudahkan perjalanan bagi pengguna yang kerap pergi ke Sunway City Iskandar Puteri.\nPembandaran infrastrukturnya bukan sahaja dirancang dengan strategik malah pemaju juga menawarkan pelbagai kemudahan, termasuklah XPark Sunway City Iskandar Puteri (satu daripada taman tema ekstrem dan pengembaraan terbesar di Malaysia), sebuah pusat pendidikan untuk orang dewasa yang bekerja dan anak-anaknya, kedai runcit dan banyak lagi, sambil memastikan keselamatan komuniti melalui perkhidmatan keselamatan yang disediakan sepanjang masa.\n\u201cKami yakin inisiatif mengimbangi antara kerja dan kehidupan, hal ini dapat mewujudkan keharmonian dan menjalinkan hubungan antara satu sama lain dalam syarikat. Penyewa akan mempunyai banyak pilihan, seperti wujudnya banyak gerai makanan dan minuman, aktiviti riadah dan sukan untuk kerja berkumpulan. Sunway Hotel Big Box yang akan dibuka tidak lama lagi juga dilakukan untuk menampung rakan kongsi perniagaan dan banyak lagi.\n\u201cPada tahun 2018, kami telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan NEC Asia Pacific Ltd. bagi meningkatkan keselamatan pembandaran, termasuklah menggunakan analisis video dan biometrik. Kini, kami berbangga melihat pasukan kami berkembang di Sunway City Iskandar Puteri. Terdapat banyak lagi inisiatif yang kami perlu lakukan sebagai rakan kongsi dan kami berharap dapat mencipta inovasi baharu demi membangunkan masyarakat dan negara yang maju,\u201d kata Gerard." "Ekonomi Digital Katalis Pembangunan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nEra globalisasi ternyata mempengaruhi pembangunan sesebuah negara. Negara maju pada hari ini berlumba-lumba menerokai dunia sains dan teknologi. Ternyata, sains dan teknologi memberikan impak yang besar kepada manusia dengan memudahkan komunikasi dari satu tempat ke satu tempat yang jauh, meningkatkan produktiviti kerja dan hasil, mengurangkan pencemaran alam dan menyumbang kepada kreativiti pendidikan yang lebih berkesan.\nPembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Sandbox Inovasi Dan Teknologi Nasional (NTIS) dan Majlis Ekonomi Digital merupakan antara inisiatif dalam usaha negara menerokai dunia sains dan teknologi, khususnya ekonomi digital. Apatah lagi dunia perlu siap siaga dengan kemunculan Revolusi Perindustrian 4.0 agar tidak ketinggalan seperti negara maju yang lain.\nMemupuk minat sejak dari bangku sekolah lagi melalui Pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) merupakan suatu langkah yang bijak sesuai. Bukan sahaja dapat melahirkan pelajar yang kritis dan berdaya saing, malah mampu menarik minat dalam dunia pembelajaran. Sudah tentu dengan adanya sistem video dan audio yang kreatif dan inovatif pastinya suasana kelas akan menjadi lebih menarik.\nDi sesetengah negara maju pula mula mengaplikasikan teknologi digital yang lebih hebat di perpustakaan negara mereka. Misalnya, penggunaan hologram dan realiti berperantara (augmented reality) dipraktikkan. Manfaat e-buku dapat mengurangkan penggunaan kertas, manakala pengunaan Internet benda (IoT), teknologi blok rantai (blockchain)\u00a0dan\u00a0data raya\u00a0(big data)\u00a0memudahkan sistem kerja dan pengurusan.\nHari ini masyarakat bukan sahaja berdepan dengan Revolusi Perindustrian 4.0, tetapi juga dengan pandemik COVID-19 lebih dari satu tahun. Dari satu sudut pandemik ini telah menukar cara hidup manusia yang bergantung kepada penggunaan sistem komunikasi. Pandemik dilihat telah meningkatkan pembelian barangan dalam talian perkhidmatan yang disebut sebagai e-dagang. Syarikat seperti Lazada, Shopee, Grab dan Food Panda semakin mendapat tempat di hati pengguna. Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menjelaskan wujudnya peningkatan penggunaan aplikasi e-dagang ini daripada 35.2 peratus kepada 45 peratus pada tahun 2020 berbanding dengan tahun sebelumya.\nDahulu apabila disebut pertanian sudah tentu kita akan terbayangkan suasana petani yang keletihan dan juga peralatan pertanian yang tradisional. Pada hakikatnya, dengan kemajuan sains dan teknologi sedia ada mampu mengubah cara kerja dengan menjadikannya lebih mudah, hasil yang meningkat dan lebih bermutu. Dengan peningkatan populasi manusia saban tahun dan juga cuaca alam yang kadang kala tidak menentu sudah tentu sekuriti makanan merupakan suatu perkara yang selalu diambil perhatian.\nPihak MARDI, misalnya sudah menggunakan kaedah Pertanian Tepat dalam menghasilkan padi yang berkualiti. Pertanian yang komprehensif boleh dilaksanakan dengan adanya IoT dan kecerdasan buatan (AI). Melaluinya pengusaha pertanian dan ladang boleh mengukur ketepatan jumlah cahaya dan suhu, menjimatkan baja, penggunaan racun yang terkawal, hasil tanaman makin berkualiti dan pasaran jualan dapat diperluaskan. Petani misalnya dapat mengendalikan tanaman mereka dari rumah saja tanpa perlu ke kebun atau ladang lagi. Ini dapat direalisasikan dengan ada telefon pintar, dron, robotik dan mesin.\nIndustri kreatif juga sebahagian daripada ekonomi digital. Antara contoh hasil daripada industri kreatif, termasuklah reka bentuk yang kreatif dan inovasi, hiasan dalaman, pengiklanan, senibina, muzik, permainan elektronik dan fotografi. Ekonomi kreatif lebih dekat dengan generasi Y, yang pastinya ekonomi ini akan berevolusi dari masa ke semasa. Kreativiti dan inovasi dalam sesuatu penghasilan kerja menjadikan produk itu lebih menarik dan mempunyai \u201cx-factor\u201d, tarikan tersendiri. Tidak hairan ada pengguna yang sanggup berbelanja lebih mahal, asalkan hasilnya itu memuaskan dan menepati cita rasa pengguna.\nMerumuskan hal ini, sekiranya negara bersungguh dalam mengaplikasikan teknologi mudah alih 5G di seluruh negara pastinya dunia digital dapat bergerak dengan lebih lancar dan efisien. Teknologi mudah alih 5G dikatakan mampu mencapai kelajuan hampir 1000 megabit sesaat berbanding hanya 100 megabit sesaat bagi 4G. Dunia tanpa sempadan ini hakikatnya menjadikan kehidupan kita lebih pantas dan mudah." "Pertumbuhan Perniagaan Penjagaan Kesihatan ketika Pandemik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSeluruh dunia terpaksa menyesuaikan diri dengan mengatur kembali kehidupan harian masing-masing\u00a0sejak pandemik COVID-19 berlaku. Peraturan baharu diperkenalkan, undang-undang diselaraskan dan gaya hidup individu\u00a0kian\u00a0perubahan. Setiap orang terpaksa menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu dengan memperbaharui gaya hidup, pengurusan perniagaan\u00a0untuk kekal bertahan pada ketika kemelut ini.\nMEDI LIFESTYLE\u00a0yang sebelum ini dikenali\u00a0sebagai IEV Holdings Limited, yakni sebuah syarikat rangkaian penyediaan dan penyelesaian kejuruteraan bersepadu untuk menyokong industri minyak dan gas (perniagaan kejuruteraan), terutamanya\u00a0di Wilayah Asia Pasifik. Pada bulan Oktober 2019, syarikat ini melakukan diversifikasi terhadap sektor kesihatan, penjagaan selepas bersalin dan penjagaan kesejahteraan (perniagaan penjagaan kesihatan).\nPada 25 November 2020, syarikat ini berjaya melepaskan diri sepenuhnya daripada Perniagaan Kejuruteraan dan pada 26 November 2020 bertukar nama kepada Medi Lifestyle Limited\u00a0untuk mencerminkan fokus utama pada perniagaan penjagaan kesihatan. Syarikat ini bertekad untuk mengenal pasti dan menyusun strategi dan peluang bagi pertumbuhan dalam sektor estetika, kesejahteraan dan kesihatan untuk menjadi satu daripada penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan terbaik di Asia.\n\u201cPandemik COVID-19 sebenarnya\u00a0musuh utama yang mempengaruhi ekonomi global\u00a0yang menyebabkan banyak gangguan dalam menjalankan aktiviti perniagaan. Tambahan pula, pelaksanaan sekatan pergerakan, perintah berkurung dan penjarakan sosial yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengawal lalu menghentikan penyebaran virus.\nMedi Lifestyle di Malaysia dan Singapura turut terjejas dengan sekatan pergerakan yang berterusan disebabkan oleh peningkatan kes COVID-19. Walaupun keadaan tidak menentu, kami merasakan bahawa masih wujudnya peluang yang boleh kami terokai. Oleh yang demikian, kami terus berusaha malah sudah mencapai hasil yang membanggakan dan sebagai sebuah syarikat, kami dalam perjalanan untuk menjadi sebuah syarikat kesihatan dan kesejahteraan yang serba lengkap di rantau ini,\u201c jelas Dato\u2019 Low Koon Poh, Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif.\nMelangkah masuk ke tahun 2021/22,\u00a0Medi Lifestyle sedang merancangkan sesuatu yang menarik sebagai syarikat penjagaan kesihatan premium, yakni pusat perkhidmatan selepas bersalin yang pertama dilancarkan di Singapura pada suku terakhir tahun 2021. Pusat ini boleh dimanfaatkan oleh ibu bapa yang berhijrah dari Malaysia ke Singapura dan kini tidak dapat kembali ke negara asal mereka untuk berpantang.\n\nPermintaan untuk perkhidmatan selepas bersalin semakin meningkat susulan ibu bapa semakin mementingkan penjagaan kaedah moden yang disediakan oleh pusat penjagaan ibu dan bayi berbanding dengan penjagaan tradisional. Perubahan ini disebabkan oleh batasan yang wujud akibat COVID-19.\nPandemik yang melanda membolehkan Medi Lifestyle untuk memperoleh premis yang ditutup lalu mengubahnya menjadi pusat perkhidmatan selepas bersalin sehenti untuk menyediakan rawatan lengkap serba profesional untuk ibu dan bayi di Malaysia.\n\u00a0Nadora,\u00a0pusat perkhidmatan penjagaan selepas bersalin yang telah dilancarkan di Malaysia pada tahun 2020, menyatukan amalan berpantang tradisional dan penjagaan kontemporari dengan menggabungkan kepakaran pengamal kesihatan dan kesejahteraan untuk mewujudkan program kesihatan yang lengkap bagi para ibu.\nDi Malaysia, pusat kedua yang tersedia tidak lama lagi dengan 50 bilik yang dilengkapi dengan ruang asuhan, bilik inkubasi, perkhidmatan kiropraktik dan fisioterapi. Pusat ini disasarkan untuk beroperasi pada suku kedua 2021. Di Singapura pula, kerja-kerja pengubahsuaian untuk pusat penjagaan selepas bersalin yang pertama dijadualkan siap pada suku terakhir 2021.\nMedi Lifestyle\u00a0juga telah bergabung bersama anak syarikat milik Back to Life Sdn. Bhd.\u00a0untuk menawarkan perkhidmatan yang berkaitan dengan perubatan alternatif termasuk perkhidmatan perubatan tradisional Cina, kiropraktik dan fisioterapi.\nPerkhidmatan ini terdapat di pusat penjagaan selepas bersalin dan juga pusat individu. Pada masa ini, Medi Lifestyle\u00a0mempunyai dua pusat penjagaan selepas bersalin di Malaysia dan satu (akan dilancarkan) di Singapura, serta satu pusat kiropraktik dan fisiologi di Malaysia." "MARA 55 Tahun Terus Mampan dalam Ketidaktentuan Global\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMenyingkap tirai kemiskinan di Malaysia, ketidakseimbangan tahap kehidupan rakyat antara golongan kaya dengan miskin semakin ketara apabila \u201corang kaya hidup semakin kaya, orang miskin hidup semakin miskin\u201d menjadi realiti di sebalik kepesatan pembangunan negara. Kadar isi rumah yang tergolong dalam kategori miskin berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) tahun 2019 pula turut dilaporkan meningkat sebanyak 5.6 peratus, yakni 405 441 orang berbanding dengan hanya 16 653 orang pada tahun 2015.\nMajoriti penduduk di Malaysia ialah orang Melayu dan Bumiputera yang merangkumi 70 peratus. Hal ini sekali gus menjadi penggerak utama dalam agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2021\u20132030 untuk memastikan kelangsungan hidup rakyatnya terus terjamin. Menyedari akan kepentingan ini, terdapat pelbagai keberkesanan program melalui bantuan kebajikan, kewangan, kemahiran dan sistem sokongan yang menyeluruh yang melibatkan sinergi antara agensi kerajaan, swasta, baitulmal, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi masyarakat dilaksanakan bagi menangani kadar pengangguran negara.\nBertepatan dengan usaha memperkasakan agenda Bumiputera, Majlis Amanah Rakyat (MARA) atau sebelumnya dikenali sebagai Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan (RIDA) merupakan sebuah agensi yang komited terhadap pembangunan modal insan Bumiputera dari aspek keusahawanan, pendidikan, pelaburan sehinggalah khidmat pengurusan. Tujuan penubuhan MARA hasil daripada cetusan idea Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama pada 1 Mac 1966, adalah untuk meningkatkan penyertaan kaum Bumiputera dalam kegiatan perdagangan dan perindustrian, serta meningkatkan taraf sosioekonomi Bumiputera ke arah pembentukan negara yang kompetitif.\nSempena menyambut ulang tahun ke-55 tahun MARA ditubuhkan, sidang editor Dewan Ekonomi berkesempatan untuk mewawancara Datuk Seri Sr. Haji Md. Alwi Che Ahmad, Pengerusi Sektor Keusahawanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang merupakan figura yang sangat berpengalaman dan berjiwa masyarakat dalam menjaga kebajikan dan sosioekonomi rakyat, khususnya golongan Bumiputera.\nYB Datuk Seri Sr. Haji Md. Alwi Che Ahmad\nPengerusi Sektor Keusahawanan MARA\n15 Jun 1956\n64 tahun Ketereh\nKota Bharu, Kelantan\nPolitik\nApril 2008 hingga sekarang: Dewan Undangan Negeri Kok Lanas, Kelantan.\nApril 2008\u2013April 2009: Setiausaha Politik Perdana Menteri.\nMac 2004\u2013Mac 2008: Ahli Parlimen Ketereh, Kelantan.\n2004\u20132008: Ketua Penerangan Barisan Nasional Back Bencher Club\u00a0(BNBBC).\nSejak 2001: Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan.\nSejak 2009: Setiausaha Barisan Nasional Kelantan.\nSejak 1999: Timbalan Ketua Bahagian UMNO Ketereh.\nPentadbiran Korporat\n2004\u20132008: Pengerusi (Pengarah Bukan Eksekutif), Silver Ridge Berhad, MESDAQ.\n2006\u20132015: Pengarah Permodalan RISDA Berhad.\nSejak 2003: Ahli Pengarah FELCRA Agro Sdn. Bhd.\nSejak 2005: Ahli Pengarah Pelita-TH Plantation (Anak syarikat Tabung Haji).\nSejak 2005: Pengarah AA Geomatik Sdn. Bhd.\nSejak 2014: Pengarah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).\nMei 2020 hingga sekarang: Ahli Majlis MARA.\n\u00a0\nDengan tema sambutan pada kali ini \u201cMenjunjung Amanah Mendepani Masa Hadapan\u201d, MARA lebih menyentuh hal berkaitan dengan kestabilan negara dan kelangsungan rakyat tatkala seluruh dunia sedang bergelut dengan cabaran dalam pasaran domestik dan global. Bagi mengetahui lebih lanjut tentang usaha MARA dalam memartabatkan Bumiputera dan memberikan manfaat kepada anak bangsa, ikuti wawancara yang selanjutnya.\n\nApabila disebut MARA, perkara pertama yang dikaitkan ialah hal ehwal ekonomi dan sejak MARA ditubuhkan lagi, fokus utama ialah keusahawanan. Hal ini demikian kerana kelangsungan sesuatu bangsa adalah melalui keusahawanan. Hala tuju MARA sangat jelas, bermatlamat memperkasakan penguasaan ekonomi dan peningkatan pemilikan ekuiti, terutamanya melalui aktiviti keusahawanan.\nSejak 55 tahun lalu, MARA berjaya membuktikan kejayaannya dalam melahirkan banyak usahawan yang berdaya saing. Sektor keusahawanan MARA mempunyai ekosistem yang lengkap, yakni merangkumi pembangunan usahawan seperti latihan keusahawanan, khidmat rundingan tentang teknik perniagaan dan pembangunan perniagaan, serta kemudahan sokongan seperti bantuan pembiayaan perniagaan dan penyewaan lot ruang niaga.\nOleh itu, MARA menyediakan pelbagai program latihan untuk melahirkan usahawan baharu, meningkatkan kemahiran usahawan sedia ada dan memperkasa usahawan yang berpotensi untuk melebarkan perniagaan pada peringkat antarabangsa. Latihan ini memberikan manfaat dan sebagai satu daripada kesiapsiagaan diri usahawan untuk lebih berdaya tahan dan menonjol dalam pasaran kini, khususnya dunia pendigitalan.\nMARA ada menyediakan skim pembiayaan dengan had maksimum hingga RM1 juta berdasarkan kategori perniagaan. Bantuan pembiayaan ini mampu menyuntik modal bagi pengembangan perniagaan. Peruntukan pembiayaan yang disediakan oleh MARA ini merupakan satu peluang yang wajar direbut oleh usahawan muda, terutamanya mereka yang duduk di luar bandar.\nBagi melengkapkan ekosistem ini, MARA turut menyediakan kemudahan penyewaan lot komersial yang merangkumi 7249 lot ruang niaga yang terdiri daripada bazar, arked, lot komersial dan kawasan industri MARA. Penyewaan lot komersial pada kadar yang rendah ini memberikan manfaat kepada usahawan Bumiputera dalam pelbagai bidang perniagaan bagi membolehkan mereka menjana pendapatan dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Dalam pembangunan usahawan, MARA memfokuskan kepada lima industri utama, iaitu industri makanan dan minuman (F&B), automotif, pembinaan, gaya hidup dan perkhidmatan.\n\u201cPada dasarnya, MARA berfungsi sebagai satu agensi kejuruteraan ekonomi yang sentiasa menjaga dan menjamin hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, tanpa menyekat atau menutup peluang kepada kaum lain.\u201c\n\u00a0\nBerlandaskan tanggungjawab menyediakan kemudahan kepada kumpulan sasar, MARA mengambil langkah proaktif melalui pembinaan program keusahawanan, pendidikan dan disokong dengan aktiviti pelaburan. Usaha ini dipacu oleh sektor khidmat pengurusan yang menggerakkan operasi MARA di dalam dan luar negara. Pelaksanaan program keusahawanan bukan hanya berfungsi di Ibu Pejabat, tetapi disokong oleh 122 buah Pejabat MARA Daerah untuk membantu membangunkan usahawan sehingga berjaya.\nBermula dari tahun 1966 hingga kini, MARA telah menyediakan pelbagai kemudahan pembiayaan perniagaan, yakni kira-kira 256 777 usahawan dan sebanyak 836 347 usahawan berjaya dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran melalui Program Latihan Keusahawanan MARA. Yang menariknya, kebanyakan usahawan ini bukan sahaja perniagaannya berkembang dalam pasaran domestik dengan pelbagai jenis perniagaan, bahkan berjaya menembusi pasaran global.\nSaya sangat berbangga dengan usaha yang dilakukan apabila sebanyak 15 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah MARA menerima anugerah dalam pelbagai kategori pada Majlis Lang International Corporate Titan Award (LICTA) 2020. Hal ini jelas membuktikan bahawa keberkesanan program keusahawanan ini mampu melonjakkan prestasi perniagaan usahawan di Malaysia.\nPada permulaan pengoperasian dilaksanakan, MARA lebih tertumpu memberikan pendidikan kepada rakyat melalui pembinaan sekolah dan institusi. Seterusnya, memperkasa sasarannya dengan menyediakan latihan seperti kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) dan keusahawanan, di\nsamping memberikan kemudahan pinjaman. Hai ini demikian menunjukkan sistem pentadbiran MARA bersifat inklusif.\nSeiring dengan hasrat kerajaan dalam meningkatkan pertumbuhan sektor keusahawanan, pelaksanaan latihan keusahawanan ini diselaraskan mengikut keperluan dan perkembangan semasa pada peringkat global. Latihan ini memfokuskan kepada beberapa bidang tumpuan, yakni latihan dan pembangunan kapasiti, pembiayaan perniagaan, geran penyelidikan, penyediaan infrastruktur atau premis perniagaan, teknologi dan akses kepada pasaran.\nProgram khas keusahawanan dirangka bagi meluaskan lagi rantaian perniagaan usahawan, di samping merapatkan jurang antara usahawan yang bertaraf global dengan usahawan kecil. Program khas ini turut mendapat kerjasama daripada pemain industri dan rakan sinergi untuk memantapkan lagi pembangunan dalam industri fokus yang disasarkan. Sasaran program ini adalah untuk mengoptimumkan prestasi dan mewujudkan peluang usahawan untuk berkembang luas dalam perniagaan menerusi peluasan pasaran, inovasi dan peningkatan produktiviti.\nMARA merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang memainkan peranan penting dalam membangunkan sosioekonomi masyarakat, khususnya rakyat di luar bandar selama lebih daripada lima dekad. Baru-baru ini, MARA melancarkan Pelan Strategik MARA (PSM) 2021\u20132025 yang merangkumi dimensi baharu daripada teras, strategi hinggalah output program dengan mengambil kira cabaran ekonomi dan senario politik semasa negara. Pelan ini merupakan satu daripada strategi untuk mengukuhkan budaya kerja berprestasi tinggi agar MARA terus unggul memartabatkan golongan Bumiputera. Langkah yang lebih holistik dan mampan untuk memperkasa ekonomi Bumiputera pada masa hadapan perlu dilaksanakan, terutamanya impak gangguan ekonomi susulan daripada krisis pandemik COVID-19.\n\nDigitalisasi tidak lagi menjadi trend atau pilihan, tetapi keperluan untuk memastikan perniagaan terus bertahan dan kekal berdaya saing.\nWarga kerja MARA diseru untuk mengutamakan integriti dan mengamalkan ketelusan dalam apa jua tindakan yang dilakukan. Bantu mengurangkan bebanan kerajaan dengan berbelanja secara berhemah dan fokus kepada program yang berimpak tinggi sahaja.\nSelain itu, mewujudkan fenomena digital untuk memudahkan sistem penyampaian dan tadbir urus MARA. Pemerkasaan warga kerja yang cekap dan mempunyai keupayaan minda digital yang fleksibel dengan teknologi dan media sosial kini.\nBagi menangani situasi semasa ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), MARA mengambil keputusan untuk menyediakan latihan keusahawanan secara dalam talian, seperti FB Live Biz Talk, Webinar dan Biz Network. Pada peringkat awal, kami tidak yakin akan sambutan program secara maya ini, namun sambutan ini berjaya disambut dan pelibatan peserta sangat menggalakkan, iaitu hampir 600 000 orang peserta. Malahan, program Biz Network berjaya mencapai objektif apabila rata-rata\nusahawan yang menyertai program ini mencapai peningkatan jualan sebanyak 20 peratus. Ekoran ini, ramai usahawan mula menyedari bahawa penjualan secara dalam talian lebih menguntungkan berbanding dengan jualan secara konvensional walaupun berhadapan dengan krisis ekonomi.\nYang kedua, melalui Pakej Rangsangan Ekonomi, Kerajaan memperuntuk sebanyak RM50 juta untuk melaksanakan Program Peningkatan Imej Premis Perniagaan MARA dengan melibatkan 1217 premis. Program ini jelas memberikan manfaat kepada 1217 kontraktor daripada kelas G1, G2 dan G3. Yang ketiga, MARA turut menerima peruntukan sebanyak RM300 juta melalui Skim PENJANA yang bertujuan untuk membantu usahawan Bumiputera dan pengusaha kolej latihan Bumiputera yang terjejas akibat daripada penularan COVID-19. Selain itu, MARA juga menawarkan Skim Pembiayaan Khas kepada 1601 orang usahawan yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM13.26 juta. MARA meluluskan dana sebanyak RM91.3 juta, yakni melibatkan 123 usahawan melalui Skim Pembiayaan PKS\nbagi tujuan mengukuhkan kembali modal pusingan perniagaan mereka.\nSelaras dengan kebiasaan baharu yang perlu diadaptasi, MARA turut membantu usahawan memasarkan produk perniagaan melalui kaedah digital, aktiviti e-dagang. Dalam usaha ini, MARA bekerjasama dengan pemain industri, seperti Shopee untuk memberikan pendedahan ilmu kepada usahawan berkaitan dengan kaedah pemasaran secara dalam talian. Peserta yang menyertai program ini akan melalui sesi latihan yang dilaksanakan sendiri oleh pihak Shopee.\nMARA turut mengadakan karnival jualan secara virtual melalui karnival E-Jana Niaga dengan menawarkan lebih daripada 40 000 pilihan SKU (unit penyimpanan stok) produk. Program ini disediakan melalui pameran, aktiviti jualan, seminar dan bengkel keusahawanan, pelancaran produk usahawan, serta Pavilion yang memberikan informasi terkini berkaitan dengan sektor keusahawanan MARA.\nSelain daripada itu, penyewa premis perniagaan MARA turut ditawarkan pengecualian dan diskaun sewa sebanyak 30 peratus kepada penyewa yang berkelayakan. Tidak hanya dengan inisiatif tersebut, baru-baru ini, Tan Sri\nDato\u2019 Haji Muhyiddin Mohd. Yassin, Perdana Menteri Malaysia turut mengumumkan inisiatif tambahan kepada usahawan melalui Pakej PERMAI, iaitu program penjadualan semula pembiayaan perniagaan MARA dan pemberian diskaun 30 peratus kepada semua penyewa premis perniagaan MARA bagi tempoh enam bulan mulai November 2020 hingga April 2021.\nRata-rata kajian daripada ahli pakar ekonomi menjangkakan proses pembukaan ekonomi dapat dilaksanakan dalam suasana yang lebih meyakinkan berikutan pengambilan vaksin mampu mengurangkan risiko kadar keberjangkitan yang signifikan. Selain mengukuhkan lagi prospek pemulihan ekonomi, hal ini juga meningkatkan sentimen dalam kalangan peniaga untuk kembali produktif mencari pendapatan saraan hidup.\n\u201cPelaksanaan program vaksinasi mesti disokong, dan semua orang harus mengambil dan melakukan vaksinasi.\u201c\nMaka demikian, pemberian vaksin jelas mampu memainkan peranan sebagai psikologi positif untuk menggalakkan kegiatan masyarakat dalam merancakkan kembali perkembangan ekonomi dengan adanya keyakinan dalam aspek kesihatan yang lebih baik dan terjamin. Bahkan, jika kita mencapai imuniti 80 peratus rakyat yang mengambil vaksin, kemungkinan besar negara kita boleh melaksanakan aktiviti seperti biasa tanpa persekitaran yang berisiko.\nFasiliti keusahawanan dalam pelaksanaan program pembangunan keusahawanan diselaraskan mengikut keperluan dan perkembangan semasa pada peringkat global dengan memerihalkan beberapa bidang tumpuan. Antaranya termasuklah, pelaksanaan program latihan dan pembangunan kapasiti, pembiayaan perniagaan, geran penyelidikan, penyediaan infrastruktur atau premis perniagaan, teknologi dan akses kepada pasaran.\nProgram khas keusahawanan dirangka dengan lebih sistematik bagi meluaskan lagi rantaian perniagaan usahawan dan merapatkan jurang antara usahawan yang bertaraf global dengan usahawan kecil. Program khas ini turut mendapat kerjasama daripada pemain industri dan rakan strategik untuk memantapkan lagi pembangunan dalam industri fokus yang disasarkan. Sasaran program ini adalah untuk mengoptimumkan prestasi dan mewujudkan peluang kepada usahawan untuk berkembang dan memajukan perniagaan mereka menerusi peluasan pasaran, inovasi dan peningkatan produktiviti.\nAgenda membangunkan usahawan Bumiputera bukanlah satu tanggungjawab yang mudah untuk digalas. Cabaran utamanya, apabila negara mengalami ketidaktentuan dalam landskap ekonomi dan politik yang sedikit sebanyak menjejaskan prestasi perniagaan usahawan Bumiputera.\nDalam melangkah ke hadapan, saya merasakan bahawa terdapat keperluan mendesak untuk mendigitalisasikan operasi dalaman MARA agar terus memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada usahawan Bumiputera dan kekal relevan pada masa kini dan seterusnya. Platform pendigitalan sememangnya dapat meningkatkan ketangkasan organisasi dalam bertindak\nbalas kepada keperluan usahawan. MARA perlu bekerja lebih keras untuk memastikan usahawan terus merangkul kemahiran pendigitalan dalam semua aspek perniagaan agar membina persekitaran yang dinamik.\nSehubungan dengan itu, kakitangan MARA perlu dilengkapi dengan pengetahuan tentang kaedah baharu dalam berinteraksi dengan pihak industri, serta tidak hanya bergantung pada pengalaman semata-mata. Usaha meningkatkan kecekapan kakitangan dan pakar runding perniagaan merupakan teras untuk MARA terus berada pada barisan hadapan dan menentukan arah tujuan dalam pembangunan usahawan Bumiputera khususnya.\nBagi merealisasikan hasrat ini, MARA perlu meningkatkan kecekapan dalam pembangunan produk untuk membolehkan penghasilan yang lebih banyak pilihan dan inovasi yang lebih pantas. Saya mengharapkan MARA untuk menjadi pusat utama dalam semua perkara yang berkaitan dengan keusahawanan dan untuk menjadi agen pemangkin perubahan dalam ekosistem.\nSatu lagi cabaran hebat yang dihadapi ialah apabila MARA menginjak ke-55 tahun, negara pula berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang melanda sejak Mac 2020 lalu. Situasi sukar ini menjejaskan operasi MARA secara\nkeseluruhannya, yakni aktiviti dan program terpaksa dihentikan dan sebahagiannya berjalan secara dalam talian. Untuk membangunkan usahawan ke satu aras seperti hari ini bukan hanya memerlukan perspektif menyeluruh, bahkan harus disertai dengan sumber yang mencukupi yang diuruskan dengan cekap untuk menyokong inisiatif yang dirangka bagi mencatat pertumbuhan dan pengembangan perniagaan khususnya kepada\nkaum Bumiputera.\nYa. Mana-mana negara yang mempunyai kecelaruan atau ketidakstabilan pentadbiran, pelabur tidak akan datang. Ekosistem ekonomi negara ini hakikatnya mempengaruhi dari segi dua aspek, iaitu pemasaran dan pentadbiran politik. Situasi ini boleh digambarkan apabila berlakunya pertukaran pentadbiran kerajaan baharu yang menjanjikan pelbagai bantuan kepada rakyat hingga ramai yang menaruh harapan tinggi, namun\nakhirnya tidak ditunaikan dengan baik. Rentetan ini, pelabur dan pelancong tidak yakin untuk datang ke negara tersebut disebabkan oleh kecelaruan antara politik dengan sosioekonomi hingga beranggapan boleh mengancam diri mereka.\nDalam pendekatan ini, MARA sentiasa mencari peluang dan potensi untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan kementerian, agensi lain dan pemain industri untuk merancakkan lagi ekonomi Bumiputera, khususnya pembangunan masyarakat di luar bandar.\nPada dasarnya, kerjasama strategik yang dijalinkan bersama-sama industri, agensi atau syarikat dapat mengukuhkan dan melestarikan perniagaan usahawan Bumiputera. Melalui jalinan kerjasama ini, usahawan berpeluang untuk mendapat pengalaman dan kemahiran daripada pemain industri itu sendiri. Kerjasama ini turut dijangkakan mampu meningkatkan produktiviti, serta meluaskan segmen pasaran produk.\nSelain itu, kolaborasi ini juga dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dalam usaha meningkatkan kemahiran berniaga yang boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan tambahan kepada masyarakat luar bandar. Kita mahu lebih ramai daripada mereka menceburi bidang perniagaan. Oleh yang demikian, MARA menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan\nplatform e-dagang Shopee dan Dropee bagi meluaskan segmen pasaran produk usahawan khususnya usahawan luar bandar.\nBerdasarkan komitmen MARA yang sentiasa menekankan pembangunan yang bersifat komprehensif, berinovasi dan global dalam merangka, serta melaksanakan program keusahawanan dan pendidikan, saya yakin MARA akan kekal relevan dalam industri.\nPelan Strategik MARA 2021\u20132025 merupakan satu kesinambungan usaha bagi memantapkan kemajuan sosioekonomi Bumiputera, lebih-lebih lagi kesiapsiagaan menghadapi cabaran ekonomi dan senario politik masa kini. PSM 2021\u20132025 digubal selaras dengan dasar dan aspirasi negara ke arah memperkasa program bagi menjamin Bumiputera terus berupaya mendepani cabaran semasa, di samping menghadapi pandemik COVID-19.\nPentadbiran MARA sangat komited dalam membawa agenda ke arah membangunkan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera (MPPB) dan bergerak selari dengan agenda, serta dasar semasa kerajaan. Di samping itu, MARA turut berubah mengikut perkembangan teknologi serta tuntutan globalisasi yang berupaya memenuhi aspirasi bumiputera. Pada\ntahun yang akan mendatang, MARA akan terus komited untuk menjadi agensi yang memberikan sumbangan signifikan kepada negara dengan meneruskan usaha meneroka bidang baharu pada masa hadapan. Usaha ini adalah untuk menerajui dan menjamin kelangsungan bangsa dalam kesenangan dan kemakmuran ekonomi, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.\nSepanjang 55 tahun ini, MARA berjaya merealisasikan impian jutaan rakyat, terutamanya golongan Bumiputera dengan memfokuskan kepada bidang keusahawanan, pendidikan dan pelaburan. Hal ini bukan sahaja memberikan manfaat secara langsung kepada Bumiputera, bahkan turut mewujudkan limpahan kemakmuran kepada seluruh rakyat tanpa mengira ras, agama, bangsa dan negara.\nUmumnya mengetahui, penularan COVID-19 ini bukan sahaja meragut banyak nyawa, malah menjerut ekonomi negara sedunia. Krisis ini memberikan kejutan permintaan dan penawaran, mengganggu rantaian bekalan, serta menekan ekosistem perniagaan. Oleh hal yang demikian, saya mahu MARA meneruskan komitmen dalam usaha mengimbangi antara\nkewajipan melindungi rakyat dengan menjamin kelangsungan ekonomi. Program keusahawanan perlu dilaksanakan secara terperinci dan mempunyai objektif yang kukuh agar kelangsungan perniagaan usahawan dapat dilaksanakan dengan jayanya.\nSelain itu, kemudahan pembiayaan perniagaan yang disalurkan juga perlu diberikan keutamaan agar dapat memberikan manfaat, sekali gus dapat dinikmati kepada golongan sasar yang terkesan akibat pandemik ini. MARA\nperlu memperluas pelibatan Bumiputera dalam bidang yang berimpak tinggi bagi meningkatkan ekuiti Bumiputera. Secara kesimpulannya, saya yakin dengan strategi yang dirangka ini, MARA mampu memainkan peranannya sebagai agensi kejuruteraan sosioekonomi dalam menyumbang kepada pembangunan negara." "ezHASiL: Tambahan Masa Pengemukaan Borang Cukai sehingga 31 Julai 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSetelah mengambil kira kekangan yang dihadapi\u00a0berikutan penutupan penuh bagi sektor sosial dan ekonomi, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mengumumkan tambahan masa pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) kepada\u00a0pembayar cukai yang menjalankan perniagaan\u00a0bagi tahun taksiran 2020 sehingga 31 Julai 2021.\nTambahan masa ini melibatkan kategori Individu, Individu Pemastautin (Pekerja Berpengetahuan/Berkepakaran), Individu Bukan Pemastautin, Individu Bukan Pemastautin (Pekerja Berpengetahuan), Perkongsian, Pertubuhan, Harta Pusaka dan Keluarga Sekutu Hindu.\nInisiatif ini diambil seiring dengan usaha kerajaan untuk meringankan beban pembayar cukai dalam melaksanakan tanggungjawab untuk mengemukakan BNCP ketika sekatan pergerakan penuh dilaksanakan untuk\u00a0memutuskan rantaian pandemik COVID-19.\nOleh hal yang demikian, pembayar cukai disarankan untuk menggunakan sepenuhnya perkhidmatan dalam talian melalui platform ezHASiL bagi tujuan pengemukaan BNCP.\nBagi kategori Syarikat, Perkongsian Liabiliti Terhad, Unit Amanah/Amanah Harta Tanah, Koperasi, Badan Amanah, Amanah Pelaburan Harta Tanah/Tabung Amanah Harta dan Amanah Perniagaan bagi Tahun Taksiran 2020 dan Tahun Taksiran 2021, tambahan masa masih dikekalkan seperti yang dinyatakan dalam Program Memfail Borang Nyata bagi tahun 2020 dan 2021.\nLayari laman rasmi LHDNM, http://www.hasil.gov.my :\n\nKetahui lanjut:\nRujuk Soalan Lazim (FAQ) berkaitan dengan Urusan Percukaian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 atau hal-hal lain.\nSebarang pertanyaan atau maklum balas boleh dicapai melalui:\na) HASiL Care Line di talian 03-8911 1000 atau 03-8911 1100 (Luar Negara);\nb) HASiL Live Chat; dan\nc) Borang maklum balas di pautan: https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-MY/" "Lindungi Kesihatan Mental Pekerja\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKes COVID-19 kembali meningkat sehinggakan negara sekali lagi menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di samping sebilangan kawasan terpaksa berkurung di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD). Pihak berkuasa sendiri mengakui isu kesihatan mental rakyat antara faktor utama yang harus dipertimbangkan dalam membuat apa-apa jua keputusan. Hal ini demikian dikatakan kerana kes bunuh diri dilaporkan semakin meningkat secara mendadak ketika PKP pertama kali dilaksanakan pada tahun 2020 yang lalu.\nBukan sahaja bimbang tentang isu kesihatan diri dan keluarga, malahan isu pekerjaan dan pendapatan menjadi beban besar disebabkan dikhuatiri jika wang yang sedia ada tidak mencukupi untuk keperluan seharian, lebih-lebih lagi untuk anak-anak dan masa yang mendatang.\nPKP turut mengekang aspek sokongan sosial yang selama ini menjadi ruang berkongsi masalah atau meluah perasaan mahupun mengurangkan tekanan. Semuanya dipendam sendiri, tidak kurang juga ada dilepaskan kepada ahli keluarga mahupun orang di sekeliling mereka.\nWalaupun kemudahan kesihatan mental di hospital kerajaan semakin maju, rata-rata rakyat Malaysia masih ragu-ragu atau malu untuk mendapatkan bantuan bagi masalah psikologi, tekanan, kemurungan serta kecenderungan mencederakan atau membunuh diri.\nBerbanding dengan amalan majikan di negara lain, khususnya di Barat, mereka menyediakan pegawai khas untuk memantau dan menjaga kesihatan fizikal dan mental pekerja. Namun begitu, rata-rata majikan di Malaysia masih melihat isu kesihatan mental bukanlah perkara penting dan kurang mempercayai hal ini boleh menjejaskan prestasi kerja kakitangan mereka. Tidak kurang juga, ada segelintir pihak yang merasakan kesihatan mental seseorang tidak mampu memberikan kesan besar kepada pendapatan syarikat mahupun ekonomi negara.\nKeadaan ini boleh dilihat dengan kebanyakan syarikat besar di negara ini hanya menyediakan manfaat atau perlindungan kesihatan untuk masalah fizikal dan pergigian, manakala isu psikologi dan kesihatan mental pekerja dianggap urusan peribadi yang perlu diuruskan secara bersendirian. Sejak sekian lama juga wujud beberapa dakwaan isu kesihatan mental pekerja tidak diberikan perhatian pihak atasan, sebaliknya dijadikan asas untuk menamatkan kontrak kerja.\nSecara umumnya, kesihatan mental merujuk cara seseorang berfikir dan bertindak, di samping kesannya untuk mempengaruhi fungsi diri dalam usaha menyelesaikan masalah, menjalinkan hubungan yang baik dan menyumbang manfaat kepada masyarakat.\nKecemerlangan sesuatu organisasi bergantung kepada prestasi pekerja, bukan sahaja berdasarkan tahap kesihatan fizikal, malah kesihatan mental yang baik, lebih-lebih lagi kesihatan fizikal dan mental saling mempengaruhi antara satu sama lain.\nKeadaan menjadi lebih kritikal apabila sesetengah tempat kerja yang mempunyai budaya atau persekitaran kurang mesra dalam aspek penjagaan kesihatan mental, contohnya beban kerja yang banyak, tekanan daripada orang atasan atau rakan sekerja, gangguan seksual dan sebagainya. Ketiadaan bantuan profesional dalam usaha mengatasi masalah ini seperti ahli psikologi atau kaunselor di tempat kerja boleh memburukkan lagi keadaan sehingga menyebabkan kesihatan mental pekerja bertambah buruk dan turut menggugat kesihatan fizikal, akhirnya menjejaskan prestasi pekerja dan pendapatan syarikat.\nBayangkan, jika polisi tidak mesra kesihatan mental ini berlaku di begitu banyak agensi atau syarikat yang merangkumi jutaan pekerja, tidak kira pangkat ataupun usia. Jika dibiarkan berterusan, sudah pasti kita dapat melihat prestasi dan produktiviti semakin yang terjejas dan dalam skala besar boleh menggugat ekonomi negara.\nHanya kerana \u201cluka yang tidak nampak\u201d pada aspek psikologi, mental dan emosi, seperti digambarkan pada aspek fizikal, tidak bermakna sakitnya itu tidak wujud atau tidak menjejaskan diri serta orang di sekeliling.\nSekolah sudah menyediakan kaunselor untuk murid, universiti pula menyediakan pegawai psikologi dan pusat kesihatan mental untuk pelajar. Mengapakah aspek ini kurang diberikan perhatian dalam sektor pekerjaan?\nAda sesetengah majikan yang peka tentang situasi pekerja memberi tugas menjaga kesihatan mental kepada pegawai Jabatan Sumber Manusia. Namun begitu, tanpa kelayakan dan pengalaman sewajarnya, pegawai tersebut hanya boleh mendengar masalah pekerja tetapi tidak mampu menyelesaikan atau mencadangkan rawatan sewajarnya.\nKerajaan mungkin boleh mewajibkan manfaat kesihatan mental untuk pekerja, namun langkah sedemikian tidak mencukupi kerana perkara yang paling penting ialah majikan sendiri perlu mengambil berat situasi dan perkembangan pekerja mereka selaku aset paling penting dalam organisasi tersebut. Majikan perlu fahami dan sedar bahawa \u201cluka\u2019\u201dmental itu sama terhadap semua orang, malah mungkin lebih bahaya daripada luka fizikal." "Ekonomi Gig: Model Ekonomi Terbaharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam masyarakat digital sepenuhnya hari ini, segala-galanya dilihat lengkap dan lancar bagi semua perkara yang dilakukan. Secara tidak langsung menjadikan seluruh masyarakat dari pelbagai lapisan umur celik terhadap teknologi maklumat dan sekiranya tidak, mereka pasti akan ketinggalan.\nPada hari ini, pembangunan teknologi berkembang dengan begitu pesat, orang ramai dilihat menjadi lebih kreatif dalam menggunakan teknologi terkini, lebih-lebih lagi dalam pendigitalan. Tidak kira sama ada syarikat\u00a0besar mahupun kecil, mereka\u00a0tidak ketinggalan berusaha untuk memenuhi pertambahan kehendak setiap pengguna,\u00a0terutamanya ketika pandemik COVID-19\u00a0melanda seluruh dunia.\nPerniagaan yang ingin kekal relevan pula perlu meningkatkan kefahaman dan pelaksanaan, pemprosesan dan teknologi yang berhubung dengan peralatan dan sistem digital yang baharu. Sehubungan dengan itu, tidak hairanlah semenjak setahun dua kebelakangan ini, ekonomi gig menjadi pilihan ramai dan semakin berkembang serta dikenali di negara ini.\nBagi sesetengah orang, mereka mungkin tidak pernah tahu dan dengar tentang ekonomi gig. Pada hakikatnya, kewujudan pembangunan ekonomi gig sudah popular di negara barat sejak 10 tahun\u00a0yang\u00a0lalu.\nEkonomi gig ialah sebuah model ekonomi yang memerlukan organisasi atau perniagaan beroperasi dengan pekerja sambilan, iaitu melibatkan sebuah model ekonomi yang memerlukan pekerja dan peniaga menggunakan sistem kontrak atau berasaskan projek.\nDalam erti kata lain, ekonomi gig ialah pasaran buruh bercirikan kontrak dalam jangka pendek atau kerja bebas yang dilakukan oleh individu dan dipacu oleh persekitaran digital, serta \u00a0kesediaan aplikasi yang secara langsung menyampaikan maklumat dan peluang untuk bekerja. Yang pastinya, segmen ekonomi ini semakin meningkat,\u00a0terutamanya\u00a0dalam generasi muda yang lebih sesuai dengan persekitaran digital kerana kebanyakan lebih suka memulakan perniagaan sendiri berbanding dengan bekerja \u201cmakan gaji\u201d.\nHal ini tidak terkecuali bagi mereka yang sukar mendapat pekerjaan yang sesuai dengan pengajian yang diambil ketika di institut pengajian tinggi. Pada bulan\u00a0Jun tahun lalu, kerajaan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM75 juta kerana melihat ekonomi gig mampu menjadi sektor pekerjaan yang stabil dan jangka masa panjang pada masa depan. Tambahan pula, pada hari ini dengan pandemik COVID-19, industri lebih memberikan\u00a0tumpuan kepada sistem pendigitalan,\u00a0sekali gus mewujudkan suasana kerja yang lebih fleksibel.\nBerdasarkan kajian data Bank Dunia, didapati bahawa ekonomi gig Malaysia meningkat sebanyak 26 peratus daripada jumlah pertumbuhan ekonomi dan menunjukkan betapa seriusnya segmen ini, serta potensi impaknya terhadap masyarakat. Kerajaan menyedari implikasi ekonomi gig dan perlunya untuk menjaga hak pekerja dan oleh itu, kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif dengan tujuan memanfaatkan ekonomi gig.\u00a0Dalam perancangan Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025), kerajaan memberikan\u00a0tumpuan pada ekonomi gig sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu, namun pada masa yang sama akan memastikan kelestariannya.\nPada Mac lalu, Datuk Shamsuddin Bardan, Pengarah Eksekutif, Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) memberitahu\u00a0bahawa terdapat peningkatan jumlah penyertaan dalam ekonomi gig dan kini terdapat kira-kira empat juta individu yang menyertai ekonomi gig berbanding sekitar setengah juta sebelum pandemik COVID-19\u00a0melanda seluruh dunia.\nMelihat akan senario dunia hari ini, ekonomi gig dijangka akan berterusan dan meningkat pada masa akan datang. Ekonomi gig dijangka kekal dalam pasaran memandangkan semakin ramai individu memilih cara alternatif untuk mencari pendapatan selepas berdepan risiko kehilangan pekerjaan pascapandemik COVID-19.\u00a0Semakin ramai yang mula beralih ke ekonomi gig ketika pandemik ini disebabkan oleh pekerjaan menjadi lebih sukar diperoleh dan ekonomi gig akan terus bertahan sama ada berlaku pemulihan atau tidak (COVID-19).\nPada masa yang sama, perkembangan ekonomi gig dilihat seiring dengan peredaran masa dan ini juga memperlihatkan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tidak lagi bergantung pada jualan secara\u00a0luar talian. Yang pasti, penerimaan rakyat Malaysia berkaitan ekonomi gig ini semakin positif dan tentunya merupakan perkembangan yang sihat dan merancakkan lagi ekonomi negara.\nSecara keseluruhannya, ekonomi gig dapat membuka ruang yang lebih besar kepada perkembangan rakyat, bahkan menjadi satu daripada inisiatif terbaik dalam usaha memperkukuhkan kestabilan ekonomi negara. \u00a0\nNamun begitu, ekonomi gig ini tidak terkecuali daripada kesan negatif apabila meletakkan pekerja dalam perangkap kemahiran dan kerjaya. Mereka yang berada dalam ekonomi gig ini akan sentiasa berada dalam kedudukan sementara atau sambilan. \u00a0Hal ini bermakna mereka tidak akan dapat membangunkan kemahiran yang kukuh atau meningkatkan kepakaran, yang boleh menawarkan laluan kerjaya yang lebih positif. Mereka mungkin tidak akan dapat pekerjaan dengan gaji yang lebih baik atau pekerjaan yang lebih baik yang menawarkan faedah dan pampasan yang stabil.\nBerdasarkan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), peningkatan ekonomi gig dan penduduk yang semakin tua dijangka menyebabkan penurunan peratusan pekerja yang menyumbang kepada dana itu. Hal ini bertentangan dengan pekerjaan tetap di mana penyumbang gaji sektor swasta menyumbang kepada KWSP sementara penjawat awam mempunyai perlindungan pencen awam.\nTanpa dasar yang konkrit bagi menangani isu-isu tersebut, pengembangan ekonomi gig mungkin mewujudkan ketidakstabilan kewangan yang kelak menimbulkan isu sosioekonomi dan politik yang lebih serius dalam jangka panjang ke atas negara." "BPR: Tarikh Rayuan Dibuka bermula 15 hingga 30 Jun 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSetelah mengemas kini data golongan B40, kerajaan mengenal pasti bahawa masih ada rakyat yang layak menerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), namun mereka belum didaftarkan di dalam pangkalan data.\nTempoh rayuan bagi permohonan BPR akan dibuka mulai 15 hingga 30 Jun 2021 bagi membantu mereka yang tidak lulus dalam permohonan sebelum ini. Pemohon boleh mengemukakan rayuan beserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM). Proses rayuan ini juga bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.\nMenurut Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia dalam sidang media semalam, setakat ini, sejumlah RM4.6 billion bantuan BPR disalurkan kepada 8.4 juta penerima B40 di seluruh negara pada bulan Februari/Mac dan Mei 2021. Bayaran bagi Fasa 3 pula direkodkan sebanyak RM2.4 bilion dan akan disalurkan pada bulan September 2021.\nMelalui Program PEMERKASA+ pada 31 Mei 2021 yang diumumkan oleh kerajaan, BPR Tambahan sebanyak RM2.1 bilion dilaksanakan untuk membantu penerima BPR 2021 sedia ada. Pemohon yang lulus rayuan BPR ini layak menerima bayaran BPR Tambahan berkenaan.\nJadual 1 Kaedah permohonan rayuan BPR melalui dua kaedah.\nSecara dalam talian\nPenghantaran borang rayuan BPR 2021 secara manual\nSetelah pangkalan data BPR dikemaskini,\u00a0pembayaran rayuan BPR\u00a0kepada pemohon yang lulus akan disalurkan pada bulan Ogos 2021 (BPR Tambahan) dan September 2021 (BPR Fasa 3).\u00a0Pemohon rayuan boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di portal rasmi BPR\u00a0(bpr.hasil.gov.my)\u00a0bagi mendapatkan maklumat lanjut.\nDalam kepekaan membantu menjamin kelangsungan hidup rakyat, kerajaan memperuntukkan hampir RM9.1 bilion (Rujuk Jadual 2). Walaupun ekonomi negara sedang bergelut dengan pandemik COVID-19, kerajaan tetap kekal komited untuk memastikan bantuan yang diperuntukkan ini sampai kepada rakyat bagi menjamin kesejahteraan, terutamanya golongan yang amat terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 buat masa ini.\nJadual 2 Ringkasan jumlah dan tarikh bayaran BPR bagi tahun 2021." "Manifestasi Gangguan Bahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSesungguhnya Malaysia merupakan bumi bertuah.\u00a0 Di sini, kita terdedah kepada kepelbagaian bahasa, termasuklah bahasa Melayu, bahasa Cina, bahasa Inggeris, bahasa Tamil dan bahasa Portugis. Sajian pelbagai bahasa di hadapan mata menjadikan banyak rakyat kita menjadi poliglot, iaitu orang yang menguasai pelbagai bahasa.\nMenurut kata orang tua-tua, \u201cTak ada gading yang tak retak\u201d.\u00a0 Kehadiran pelbagai bahasa di Malaysia turut mendatangkan masalah dari segi penguasaan sesuatu bahasa. Selain masalah pertukaran bahasa (code switching) dan percampuran bahasa (code mixing), hal ini juga menimbulkan masalah gangguan bahasa atau interference dalam kalangan pengguna bahasa Melayu.\nMasalah ini ada kalanya timbul kerana perbezaan budaya dan latar belakang hidup yang menyebabkan tidak ada padanan satu-lawan-satu dalam hal terjemahan bagi sesetengah perkara. Sebagai contoh, kata \u201crice\u201c dalam bahasa Inggeris harus ditulis sebagai \u201cpadi\u201d, \u201cberas\u201d atau \u201cnasi\u201d dalam bahasa Melayu, mengikut konteks penggunaan yang sesuai. Sila lihat contoh yang berikut:\nBI: He plants rice.\nBM: Dia menanam padi.\n*Dia menanam beras.\n*Dia menanam nasi.\n\u00a0\nBI: He buys 10 kilograms of rice.\nBM: Dia membeli 10 kilogram beras.\n*Dia membeli 10 kilogram padi.\n*Dia membeli 10 kilogram nasi.\n\u00a0\nBI: He eats rice.\nBM: Dia makan nasi.\n*Dia makan padi.\n*Dia makan beras.\nBerdasarkan ayat contoh di atas, jelaslah bahawa penggunaan kata \u201cpadi\u201d, \u201cberas\u201d dan \u201cnasi\u201d tidak boleh ditukar ganti sesuka hati. Jika tidak, ayat yang kita hasilkan bukan sahaja kabur maksudnya, malah mungkin menjadi bahan lelucon orang lain.\nKata \u201ccompetition\u201d dalam bahasa Inggeris bermaksud \u201cpertandingan\u201c atau \u201cpersaingan\u201d dalam bahasa Melayu. Sila lihat contoh yang berikut:\nBI: I join the badminton competition.\nBM: Saya menyertai pertandingan badminton.\n*Saya menyertai persaingan badminton.\n\u00a0\nBI: I face stiff competition.\nBM: Saya menghadapi persaingan sengit.\n*Saya menghadapi pertandingan sengit.\n\u00a0\nKata \u201cchildren\u201d dalam bahasa Inggeris bermaksud \u201ckanak-kanak\u201d atau \u201canak-anak\u201d dalam bahasa Melayu. Sila lihat contoh yang berikut:\nBI: There are children at the playground.\nBM: Ada kanak-kanak di taman permainan.\n*Ada anak-anak di taman permainan.\n\u00a0\nBI: His children are clever.\nBM: Anak-anaknya cerdik.\n*Kanak-kanaknya cerdik.\n\u00a0\nAda kalanya gangguan bahasa timbul kerana pengguna bahasa Melayu cuba memadankan kata berimbuhan, sama seperti kata dasarnya. Sila lihat contoh yang berikut:\nBI: benefit (kata nama)\nBM: manfaat\n\u00a0\nBI: beneficial (kata adjektif)\nBM: bermanfaat\n\u00a0\nBI: This benefit us. (kata kerja transitif)\nBM: *Hal ini memanfaatkan kita.\nHal ini menguntungkan kita.\n\u00a0\nDalam contoh di atas, walaupun benefit (kata nama) dan beneficial (kata adjektif) dapat dipadankan dengan kata \u201cmanfaat\u201d dan \u201cbermanfaat\u201d, kata benefit sebagai kata kerja transitif tidak boleh dipadankan dengan kata \u201cmemanfaatkan\u201d. Hal ini dikatakan demikian kerana kata \u201cmemanfaatkan\u201d bererti \u201cmenggunakan sebaik-baiknya, mendapatkan faedah daripada sesuatu, menjadikan berfaedah\u201d (Kamus Dewan Edisi Keempat). Oleh itu, kata yang sepatutnya digunakan ialah \u201cmenguntungkan\u201d yang bermaksud \u201cmemberikan faedah, berguna atau bermanfaat kepada\u201d.\nSelain masalah dari segi pemilihan kosa kata atau istilah, terdapat juga gangguan dari segi tatabahasa. Sila lihat contoh yang berikut:\nBI: He doesn\u2019t know why his son is sick.\nBM: *Dia tidak mengetahui mengapakah anaknya jatuh sakit.\nDia tidak mengetahui sebab anaknya jatuh sakit.\n\u00a0\nBI: This is because he made a mistake.\nBM: *Ini kerana dia tersilap.\nHal ini berlaku kerana dia tersilap.\n\u00a0\nBerdasarkan contoh di atas, ayat bahasa Melayu tidak membenarkan kehadiran kata tanya \u201cmengapakah\u201d di tengah-tengah ayat penyata. Oleh itu, kata tersebut sepatutnya diganti dengan kata nama \u201csebab\u201d. Bahasa Melayu juga menghendaki kata hubung keterangan musabab \u201ckerana\u201d menghubungkan klausa utama dengan klausa subordinat. Oleh itu, kata \u201cini\u201d seharusnya diganti dengan klausa \u201chal ini berlaku\u201d.\nPengguna bahasa Melayu yang biasa berbahasa Cina mungkin menggunakan kata atau gaya bahasa yang asing bagi bahasa Melayu. Sila lihat contoh yang berikut:\nSalah: *Dia sudah balik ho?\nBetul: Bukankah dia sudah balik?\n\u00a0\nSalah: *Aiyo, susahnya hidup saya!\nBetul: Aduhai, susahnya hidup saya!\n\u00a0\nSalah: *Dia tidak hadir bo.\nBetul: Tapi, dia tidak hadir.\n\u00a0\nSalah: *Jangan main/tangkap ular!\nBetul: Jangan curi tulang/mengular!\n\u00a0\nSesetengah pengguna berketurunan Cina juga sering menggantikan kata \u201cberjumpa dengan\u201d dengan \u201cmencari\u201d jika hendak meminta izin untuk menemui atau bercakap dengan seseorang untuk berbincang tentang sesuatu hal. Hal ini kurang tepat kerana kata \u201cmencari\u201d bererti \u201cberusaha untuk mendapat sesuatu atau seseorang yang hilang\u201d. Sila lihat contoh yang berikut:\nSalah: *Bolehkah saya mencari Mary?\nBetul:\u00a0 Bolehkah saya berjumpa dengan Mary?\n\u00a0\nAda kalanya jawapan kepada sesuatu soalan juga kurang tepat. Sila lihat contoh yang berikut:\n\u00a0\nSoalan: Adakah kamu faham?\nSalah: *Ada.\nBetul: Ya." "Pelan Pemulihan Negara Bantu Usahawan Bangkit Semula\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR\u00a0\u2013\u00a0Perbadanan Nasional Berhad (PNS) yakin Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Dato\u2019 Muhyiddin Mohd. Yassin dapat membantu usahawan bangkit semula setelah terjejas akibat pandemik COVID-19 dan dilihat sebagai inisiatif terbaik dalam usaha memastikan ekonomi negara berada dalam landasan pemulihan.\nKetua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Hilaluddin Abd. Shukor berkata, pelan itu membolehkan golongan usahawan termasuklah francais untuk menyusun semula keperluan tenaga kerja industri dengan mengurangkan kebarangkalian risiko yang tinggi.\nTambahnya, pelan tersebut turut menyediakan strategi peralihan keluar yang jelas kepada usahawan untuk merancang aktiviti perniagaan mereka.\n\u201cSaya yakin apabila pelbagai pihak dapat memberikan kerjasama dalam mematuhi saranan yang dikeluarkan berdasarkan kepada fasa yang ditetapkan, mudah-mudahan rantaian jangkitan COVID-19 ini dapat dibendung, sekali gus dapat mengatasi krisis pandemik ini.\nSehubungan itu, PNS juga memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan pelan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya,\u201d katanya dalam kenyataan baru-baru ini.\nPada 28 Mei lalu, kerajaan memutuskan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh di seluruh negara selama dua minggu sebelum dilanjutkan lagi hingga 28 Jun 2021. Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi empat fasa PKP secara berperingkat yang diumumkan merupakan strategi peralihan keluar daripada kemelut pandemik COVID-19.\nEkoran itu, PNS menyediakan pelbagai program dan skim pembiayaan khususnya untuk golongan usahawan. Antaranya, termasuklah program Recurve yang memperuntukkan dana tambahan sebanyak RM20 juta kepada usahawan untuk memulihkan perniagaan mereka dan memanfaatkan lebih daripada 350 usahawan francais PNS sedia ada dengan dana tersebut.\n\u201cPNS kini giat membangunkan usahawan kecil dan sederhana (PKS) melalui program Be Your Own Boss,\u00a0khususnya untuk golongan wanita dan belia,\u201d ujar Hilaluddin lagi.\nAntara usahawan Transformasi Perniagaan (BIT) di bawah PNS.\nProgram tersebut menyasarkan untuk melahirkan 700 usahawan francais baharu menjelang hujung tahun ini sejajar dengan jangkaan tempoh pemulihan ekonomi.\nBeliau berharap, apabila pandemik ini berakhir dan sektor ekonomi dapat kembali dibuka sepenuhnya. Pada masa yang sama, usahawan juga sudah bersiap sedia untuk beroperasi dengan aktif, seterusnya dapat memacu ekonomi negara." "Punca Individu Diisytiharkan Muflis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "LHDNM: Had Transaksi FPX Dinaikkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBagi memudahkan pembayar cukai membuat bayaran cukai pendapatan secara dalam talian, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) memberikan kemudahan dengan meningkatkan had maksimum transaksi bayaran cukai pendapatan menerusi kaedah Financial Process Exchange (FPX) berkuat kuasa serta-merta.\nPerubahan had transaksi bayaran\nHad transaksi baharu ini terpakai untuk pembayaran cukai pendapatan menerusi medium ByrHASiL yang boleh diakses di portal rasmi LHDNM (www.hasil.gov.my) dan juga melalui perbankan Internet setiap bank yang dilantik sebagai ejen kutipan LHDNM.\nMeskipun demikian, transaksi ini masih tertakluk kepada had pengeluaran maksimum yang telah ditetapkan oleh pihak bank (buyer banks) kepada mereka.\nDalam hal ini, pembayar cukai disarankan untuk membuat rujukan dan mendapatkan kelulusan had transaksi yang dibenarkan daripada bank masing-masing terlebih dahulu bagi memastikan kelancaran penggunaan had transaksi baharu ini.\nSebarang pertanyaan atau maklum balas berhubung dengan perkara ini, pelanggan boleh menyalurkannya melalui:\na) HASiL Care Line di talian 03-8911 1000 atau 03-8911 1100 (luar negara);\nb) HASiL Live Chat; dan\nc) Borang maklum balas di laman web LHDNM (Maklum Balas Pelanggan)" "Pelan Strategik DBP 2021-2025: Pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ekonomi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTanggal 22 Jun 2021, maka genaplah 65 tahun perjuangan Dewan\u00a0Bahasa dan Pustaka (DBP) memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang bersifat semasa dan komersial. Pelan Strategik DBP 2021-2025 dibangunkan dengan matlamat strategik, iaitu mengindustrikan dan melestarikan bahasa dan persuratan Melayu.\nPelan Strategik DBP 2021-2025\nPertama: Bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi;\nKedua: Bahasa Melayu sebagai bahasa negara; dan\nKetiga: Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.\nDalam ucapan perasmian, Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan menunjukkan rasa bangga dan mengucapkan tahniah kepada DBP apabila berjaya menggalas tanggungjawab besar untuk memartabatkan bahasa Melayu selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.\n\u201cMelihat akan teras pelan strategik DBP menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi membuktikan bahawa bahasa Melayu mempunyai nilai ekonomi dan komersial serta digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor, terutamanya sektor perekonomian.\nBagi menjayakan pelan ini, komitmen, kesungguhan, kesepaduan, ketekunan dan kerjasama daripada semua pihak, khususnya pengurusan tertinggi dan warga kerja DBP amat diperlukan bagi merealisasikan visi, misi dan hala tuju organisasi DBP,\u201d kata Datuk Dr. Radzi ketika perasmian berlangsung menerusi Facebook rasmi DBP.\nSementara itu, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Ketua Pengarah DBP berkata selain status perundangan, nilai sesuatu bahasa juga berkait rapat dengan nilai ekonomi atau kemajuan sesebuah negara. Negara yang ekonominya berkembang pesat secara tidak langsung memberikan kesan kepada perkembangan dan kemajuan bahasanya.\nOleh itu, untuk mengekalkan kerelevanan bahasa Melayu dengan perkembangan semasa, usaha perlu dilaksanakan untuk terus menyuntik nilai ekonomi kepada bahasa Melayu. Pelan strategik ini diharapkan dapat menggalakkan industri berasaskan bahasa Melayu.\n\u201cKesan pandemik COVID-19 ini hakikatnya membuka ruang baharu dan cara bekerja di DBP dengan mendigitalkan kebanyakan program dan dilaksanakan secara dalam talian.\u00a0Ini merupakan naratif baharu yang dibawa oleh DBP untuk mengembang dan membina bahasa Melayu dengan menggunakan kaedah secara pendigitalan tanpa meninggalkan usaha penerbitan secara konvensional,\u201d katanya.\nDengan tema kali ini \u201cAksara Nan Hidup Sepanjang Zaman\u201d, DBP akan sentiasa komited mengembangkan kekayaan khazanah ilmu bahasa dan persuratan Melayu kepada masyarakat, di samping memastikan masyarakat menguasai pelbagai bidang ilmu dalam bahasa Melayu seiring dengan era Revolusi Industri 4.0 dan Masyarakat 5.0.\nDirgahayu DBP! Semoga usaha memartabatkan bahasa Melayu terus terpelihara." "CEO MSM Dilantik sebagai Profesor Adjung UTM AHIBS\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM), pengeluar gula bertapis terkemuka negara, mengumumkan pelantikan Syed Feizal Syed Mohammad, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan sebagai Profesor Adjung oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS).\nPelantikan yang bermula pada 15 Jun lalu selama setahun itu bakal memberi peluang kepada beliau untuk menyumbang kepada UTM AHIBS dalam aspek pengetahuan industri khususnya berkaitan kepimpinan, perniagaan, pengurusan, inovasi serta keusahawanan. Beliau juga akan menganjurkan sesi syarahan, seminar dan dialog bersama-sama kakitangan akademik dan pelajar AHIBS.\nSaya amat menghargai dan berbesar hati terhadap peluang yang diberikan oleh UTM AHIBS untuk saya berkongsi ilmu, pengalaman dan kemahiran dalam memastikan kesediaan dan melahirkan pemimpin industri masa hadapan.\nSaya percaya pendekatan universiti melalui kerjasama industri-akademik ini dapat mengoptimumkan pembelajaran, kajian dan tesis pelajar bagi projek MBA mereka berserta aplikasi kemahiran secara praktikal.\nSyed Feizal menjelaskan melalui pelantikan itu juga, beliau akan sentiasa mencari peluang untuk menyumbang semula kepada pendidikan dan platform ini digunakan sebaik-baiknya. Beliau akan berkongsi ilmu dan saling bertukar pendapat dengan rakan kepimpinan lain untuk membantu memberikan rujukan dan pandangan untuk pemimpin masa hadapan.\nBaru-baru ini, Kumpulan telah melancarkan Program Prodigi MSM sebagai satu daripada langkah sumbangan kepada komuniti terutamanya bagi lepasan universiti yang masih belum mendapatkan pekerjaan ekoran situasi ekonomi semasa.\nProgram ini bertujuan untuk memperkasakan kebolehpasaran graduan muda selaras dengan peluang yang telah sediakan bagi pembangunan berterusan melalui latihan pekerjaan, kemahiran insaniah serta bimbingan pakar.\nPada akhir program, Prodigi yang berkelayakan akan turut berpeluang untuk diserap sebagai tenaga kerja MSM atau mendapatkan pekerjaan di tempat lain berdasarkan kesediaan mereka untuk memasuki alam pekerjaan." "Grab Jana Pendapatan Sekitar RM30 Bilion pada Tahun 2020\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u2013 Platform e-panggilan (e-hailing)\u00a0dan penghantaran makanan, Grab mendedahkan bahawa pemandu dan peniaganya mampu menjana pendapatan sehingga A.S.$7.1 bilion atau sekitar RM29.5 bilion pada tahun lalu.\nMenurut Laporan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus Korporat (ESG)\u00a0berkaitan dengan tahunan Grab pertama, didapati bahawa 46\u00a0peratus\u00a0responden yang terlibat dalam kaji selidik itu tidak bekerja\u00a0atau tidak mempunyai pekerjaan sebelumnya.\n\u201cSebanyak 33 peratus rakan peniaga GrabFood direkodkan beroperasi secara dalam talian buat pertama kalinya dengan Grab. Hampir 600 000 perniagaan kecil menyertai GrabFood dan GrabMart pada tahun 2020. Manakala, sebanyak 59 peratus daripada keseluruhan pinjaman modal kerja yang dikeluarkan oleh Kumpulan Kewangan Grab pada tahun 2020 adalah daripada peniaga kecil.\nLebih daripada 1.7 juta rakan pemandu menyempurnakan program latihan yang dibantu oleh Grab. Program ini merangkumi kursus\u00a0literasi digital, perlindungan data, literasi kewangan, komunikasi bahasa Inggeris dan banyak lagi,\u201d jelas pihak pengurusan Grab dalam satu kenyataan berhubung\u00a0dengan\u00a0laporan itu.\nSehubungan dengan itu, Grab turut mengumumkan inisiatif baharu yang mengukuhkan komitmennya untuk mengurangkan pelepasan karbon dan jejak persekitaran syarikat. Antaranya,\u00a0pengguna platform aplikasi tersebut tidak lama lagi boleh mengurangkan jejak karbon mereka apabila membuat perjalanan menggunakan Grab menerusi ciri pengimbangan karbon.\nDalam masa yang sama, Grab dan Hyundai Motor Group juga akan melancarkan program rintis Kenderaan Elektrik (EV) baharu agar pemilikan EV lebih mampu milik dan mudah diakses.\nKetua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengasas bersama Grab, Anthony Tan tidak menafikan bahawa prestasi Grab berkaitan\u00a0rapat dengan kebajikan komuniti dan perlindungan alam sekitar.\n\u201cBagi memastikan perniagaan kami dapat terus berkembang dan berjaya dalam jangka panjang, kami perlu berusaha ke arah membina komuniti yang maju, yakni pekerja kami\u00a0mempunyai peluang pendapatan yang mapan, di samping memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang.\nLaporan ESG pertama kami mencerminkan komitmen Grab ke arah membina perniagaan dengan paras terendah berganda, dan pada masa sama dapat memastikan ketelusan dan tanggungjawab terhadap pemegang kepentingan kami,\u201d katanya menerusi kenyataan sama.\nBerdasarkan kajian, Grab direkodkan telah melaburkan sebanyak A.S.$200 juta untuk GrabRental,\u00a0iaitu program kereta sewanya sejak tahun 2016.\u00a0Setakat hari ini, hampir satu\u00a0daripada tiga buah\u00a0kenderaan (31\u00a0peratus) menyediakan perkhidmatan pemanduan e-panggilan\u00a0Grab di Singapura merupakan kenderaan elektrik atau hibrid." "LHDNM: Kemudahan Pengemukaan Borang Rayuan BPR di Sabah dan Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBagi memudahkan pemohon rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) di Sabah dan Sarawak yang mempunyai kesukaran untuk membuat permohonan secara dalam talian, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mengambil inisiatif dengan cara menyediakan peti pelbagai (drop box) di pejabat Cawangan, Pejabat Satelit dan Pusat Khidmat Hasil (PKH) LHDNM, serta di Pejabat Daerah yang berhampiran.\nPemohon hanya sekadar mengemukakan borang dan semua dokumen sokongan yang lengkap ke dalam peti pelbagai tersebut yang disediakan mengikut waktu operasi pejabat (rujuk Jadual). Kemudahan peti pelbagai disediakan sehingga tarikh akhir permohonan rayuan BPR, iaitu pada 30 Jun 2021.\nJadual Waktu Operasi Kaunter Permohonan BPR di Cawangan.\nLayari portal BPR untuk maklumat lanjut berkaitan dengan permohonan rayuan ini.\nBagi memastikan borang dan dokumen yang diserahkan adalah teratur dan tidak bercampur dengan borang rayuan pemohon lain, pemohon diingatkan agar memasukkan borang dan dokumen sokongan rayuan BPR di dalam sampul atau mencantumkannya (stapler) dengan kemas terlebih dahulu sebelum meletakkannya ke dalam peti pelbagai tersebut.\nSebarang pertanyaan atau maklum balas berhubung dengan perkara ini, pemohon boleh menyalurkannya melalui:\n(a) Talian BPR,\u00a0 1800-88-2747\u00a0 (Isnin-Jumaat, pukul 9.00 pagi-4.00 petang);\n(b) HASiL Live Chat; dan\n(c) Borang maklum balas di laman web LHDNM (Maklum Balas Pelanggan)" "Iskandar Malaysia Raih RM7.33 Bilion daripada Pelaburan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u2013 Koridor pembangunan ekonomi, Iskandar Malaysia di Johor menyaksikan aliran masuk pelaburan projek mencecah RM7.33 bilion antara Januari hingga April 2021, dengan 20\u00a0peratus\u00a0daripadanya melibatkan pelabur domestik dan 80\u00a0peratus merupakan pelabur asing.\nKetua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, pelaburan yang diraih itu merupakan petunjuk positif bahawa Iskandar Malaysia masih dapat mengekalkan kepercayaan kepada pelabur.\n\u201cKami berharap keyakinan akan berterusan dan menggalakkan pelabur lain untuk melihat wilayah ini sebagai sebuah platform ideal untuk memulakan, membangunkan semula dan mengembangkan perniagaan, serta operasi mereka pada ketika ini atau sebagai persediaan selepas pandemik COVID-19.\nKami amat menghargai sokongan dan kelulusan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) terhadap\u00a0projek pembuatan di Iskandar Malaysia dan menantikan pelaksanaan projek berkenaan pada tahun ini walaupun berdepan cabaran semasa. Pada tahun 2020, projek\u00a0yang diluluskan untuk dibangunkan di wilayah ini,\u00a0termasuklah\u00a0dari China, Jepun dan Singapura,\u201d kata Ismail dalam kenyataan\u00a0sidang media.\nTiga industri utama yang diluluskan itu melibatkan peralatan pengangkutan, elektrik dan elektronik serta mesin dan peralatan.\u00a0Secara keseluruhannya, jumlah pelaburan terkumpul yang dicatatkan di Iskandar Malaysia mencecah sehingga RM341.4 bilion sejak 2006 dan 61\u00a0peratus\u00a0daripadanya telah disempurnakan.\nProjek yang disempurnakan itu mencatatkan nilai sebanyak RM209.9 bilion, dipacu oleh sektor pembuatan dan diikuti oleh logistik, pelancongan, perkhidmatan kreatif dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.\nPada awal tahun ini, Ismail\u00a0berkata, IRDA juga telah mengumumkan pertanian moden sebagai sebuah sektor ekonomi baharu yang dipromosikan di wilayah berkenaan. \u00a0IRDA yakin bahawa usaha itu boleh dicapai kerana terdapat keperluan untuk meningkatkan keselamatan makanan selain permintaan tinggi bagi bekalan makanan berterusan di dalam negara serta dari Singapura.\n\u201cMenerusi tanah yang banyak di Johor dan merealisasikan hasrat\u00a0negeri itu untuk menjadi sebuah\u00a0bank makanan\u00a0(food bank),\u00a0selain daripada teras mejadikan sebuah bandar pintar di Iskandar Malaysia. Kami\u00a0sangat\u00a0mengalu-alukan pelabur dan rakan kongsi\u00a0datang\u00a0ke wilayah ini untuk bekerjasama dalam membangunkan, memacu dan menerima manfaat daripada inisiatif pertanian moden,\u201d katanya lagi." "Gabungan Pembiayaan Elak Perniagaan Terbeban dengan Hutang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u2013 Pembiayaan bercampur-campur dilihat sebagai pilihan realistik untuk ditawarkan kepada perniagaan yang sedang bergelut disebabkan oleh impak perubahan iklim dan penularan pandemik COVID-19.\nDalam sidang media, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM)\u00a0menekankan bahawa tidak cukup jika institusi kewangan hanya menggunakan instrumen tradisional dalam memenuhi pembiayaan bagi projek\u00a0kelestarian.\nUjar beliau, sektor itu perlu berfikir secara kreatif dalam\u00a0usaha\u00a0membangunkan penyelesaian baharu dan inovatif, yakni\u00a0dengan mengambil kira cabaran semasa yang dihadapi oleh perniagaan dan individu.\n\u201cDalam menggabungkan pembiayaan konsesi dan pendanaan komersial, seperti gabungan dana yang bersifat dermawan atau instrumen pembiayaan sosial dan pinjaman tradisional, pendekatan pembiayaan campuran dapat mengelakkan beban hutang berlebihan yang mampu meningkatkan risiko pada masa depan.\n\u201cTerdapat juga peluang signifikan untuk institusi kewangan menyokong pemulihan hijau akibat pandemik menerusi peruntukan pembiayaan peralihan yang berkaitan dengan amalan\u00a0mampan,\u201d katanya ketika menyampaikan ucaptama persidangan maya Jawatankuasa Bersama Perubahan Iklim (JC3).\nTambah Nor Shamsiah, sektor kewangan memainkan peranan dalam melancarkan peruntukan dan penyediaan sumber\u00a0ekonomi.\nNamun\u00a0begitu, beliau melihat aspek pembiayaan\u00a0ini\u00a0terus menjadi cabaran utama kepada kebanyakan projek\u00a0kelestarian.\nSehubungan itu, Nor Shamsiah meminta sektor kewangan untuk lebih berhati-hati dalam membiayai inisiatif kelestarian dan memberikan\u00a0insentif pelaburan di sektor yang menyumbang kepada aspek rendah karbon.\n\u201cPandemik ini memberikan\u00a0amaran kepada kita bahawa pentingnya pembangunan lestari dan terdapat keperluan mendesak untuk lebih memberikan\u00a0perhatian kepada kesihatan bumi.\n\u201cWalaupun kerajaan dan pembuat dasar sudah memberikan\u00a0keutamaan terhadap usaha memerangi pandemik COVID-19, namun kejadian\u00a0yang berkaitan dengan iklim terus meningkat,\u201d jelasnya lanjut.\nSebagai langkah menyokong usaha kelestarian, beliau menegaskan bahawa BNM akan memuktamadkan pelannya berhubung pendedahan risiko iklim berwajib oleh institusi kewangan, pada tahun ini." "Perkhidmatan LHDNM Sepanjang Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSelaras dengan pengumuman kerajaan berkaitan dengan pelanjutan fasa pertama Pelan Pemulihan Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) akan menyediakan beberapa perkhidmatan bantuan kepada golongan yang terkesan.\nPerkhidmatan LHDNM yang ditawarkan ialah:\n\nBeroperasi di Pusat Bayaran Kuala Lumpur, Pusat Bayaran Kota Kinabalu dan Pusat Bayaran Kuching seperti yang berikut:\nBayaran Menggunakan Kad Kredit dan Kad Debit:\n\u2013 Cukai pendapatan dan cukai lain.\nSehubungan dengan itu, soalan lazim berkaitan dengan urusan percukaian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 telah dikemas kini pada 26 Jun 2021 untuk tujuan kemudahan rujukan kepada pelanggan." "Diplomasi Kebudayaan Rancakkan Pengantarabangsaan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini menerima lawatan Menteri Luar Negeri, YB Dato\u2019 Saifuddin Abdullah bagi membincangkan program kerjasama antara Wisma Putra, DBP dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dalam usaha mengantarabangsakan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan negara.\nDalam sidang media yang diadakan selepas beliau bermesyuarat bersama-sama DBP dan ITBM, Dato\u2019 Saifuddin Abdullah menekankan peri pentingnya bahasa Melayu diangkat sebagai antara bahasa terbesar dunia yang semakin bertambah jumlah penuturnya pada saban tahun. Oleh itu, beliau berhasrat untuk merancakkan lagi perkembangan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa dengan menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan dan negara luar.\nMaka itu, Kementerian Luar Negeri (KLN) akan memfokuskan promosi Diplomasi Kebudayaan melalui pejabat perwakilan Malaysia di luar negara (Malawakil), menerusi Program Pengantarabangsaan Bahasa dan Persuratan Melayu. Pihak KLN juga telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menasihati kementerian dalam hal ehwal diplomasi kebudayaan yang dikenali sebagai Jawatankuasa Kesenian dan Kebudayaan (ARCA). Menurut beliau, program tersebut merupakan kerjasama yang julung-julung kalinya diadakan antara KLN dengan DBP dan ITBM.\nAntara usaha yang akan diambil termasuklah mengemas kini kursus bahasa dan budaya Malaysia dengan lebih sistematik khususnya di Malawakil di seluruh\u00a0 negara. Kelas bimbingan secara kecil-kecilan telah pun bermula di beberapa kedutaan Malaysia di Indonesia, Thailand, China dan Rusia.\nTambah beliau lagi, usaha ini tentunya akan diteruskan dengan lebih sistematik dengan adanya sedikit dana tambahan. Selain itu, Malaysia juga akan menawarkan Kursus Bahasa Melayu kepada pegawai diplomatik negara-negara yang terlibat, yang bakal bertugas di Malaysia. Atase Kebudayaan yang\u00a0 meliputi soal pendidikan bahasa dan kesusasteraan juga akan ditempatkan di kedutaan-kedutaan utama. Walau bagaimanapun, perkara tersebut memerlukan perbincangan lanjut dengan kementerian lain terlebih dahulu.\nSaya berharap pada peringkat kami di KLN, sebelum akhir tahun ini, semua usaha ini akan dapat diselesaikan dan terma rujukan untuk duta-duta dan semua pejabat Malawakil dapat kami sediakan.\nTambah Dato\u2019 Saifuddin Abdullah lagi, sebelum ini pihak DBP telah mengadakan kerjasama dan aktiviti kebahasaan dan persuratan Melayu yang merentas negara. Antaranya termasuklah Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), Majlis Bahasa Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia (MABBIM), dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM). Sehubungan dengan itu, beliau mahukan kerjasama itu diperkasakan bagi menyebarluaskan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa.\nCadangan yang diutarakan Dato\u2019 Saifuddin Abdullah mendapat respons positif daripada Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, yang menyokong penuh cadangan tersebut sambil menyatakan bahawa pihak DBP akan memberikan kerjasama penuh kepada KLN demi menjayakan hasrat pengantarabangsaan bahasa dan persuratan Melayu.\nYang turut hadir dalam sidang media yang diadakan di Menara DBP ialah Ketua Eksekutif ITBM, Encik Sakri Abdullah, Dr. Ahmad Idham Ahmad (Pegawai Tugas-tugas 1), dan warga pengurusan tertinggi DBP." "Tambahan Masa Pengemukaan Borang Nyata Cukai Susulan Pelanjutan Pelan Pemulihan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSusulan daripada pengumuman pelanjutan fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mengambil inisiatif dengan memberikan kelonggaran bagi tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata Cukai untuk beberapa kategori pembayar cukai.\nInisiatif ini diambil sebagai kelonggaran kepada pembayar cukai dan memberikan lebih masa kepada mereka dalam menyediakan dokumen dan maklumat percukaian yang perlu diisytiharkan kepada LHDNM.\nKategori Pembayar Cukai yang Terlibat\nNota: (*) Dari tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata Cukai seperti yang termaktub dalam akta berkaitan.\nBagi panduan yang lebih terperinci berkenaan dengan pengemukaan Borang Nyata Cukai dan urusan percukaian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan, pelanggan/pemohon boleh membuat rujukan di portal rasmi LHDNM.\n(a) Program Memfail Borang Nyata bagi tahun 2021.\n(b) Soalan lazim berkaitan dengan urusan percukaian dalam tempoh PKP 3.0.\nSebarang pertanyaan atau maklum balas berhubung dengan perkara ini, pemohon boleh menyalurkannya melalui:\n(a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);\n(b) HASiL Live Chat; dan\n(c) Borang maklum balas di laman web LHDNM (Maklum Balas Pelanggan)" "Kenanga Investors Lancar Semula Dana Secara Global\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDana Kenanga Global Growth dan Dana Kenanga Global Islamic memberikan tarikan kepada\u00a0pelabur dengan dedahan secara global dan kepelbagaian yang lebih meluas berikutan pengenalan semula dana unit amanahnya.\nKuala Lumpur, 29 Jun 2021\u00a0\u2013\u00a0Kenanga Investors Berhad (Kenanga Investors) mengumumkan pelancaran terhadap kesemua dana unit amanahnya, iaitu Dana Kenanga Global Growth (KGGF) dan Dana Kenanga Global Islamic (KGIF).\n\u201cKami memperkenalkan dana ini dalam pasaran untuk memberikan tahap dedahan global yang lebih besar kepada pelanggan. Dengan melabur di pasaran global, skop akan menjadi lebih meluas dan kita dapat memanfaatkan tren pertumbuhan sekular seperti pendigitalan, kenderaan elektrik, rangkaian 5G, dan juga pemulihan semula dalam pasaran pascapandemik COVID-19.\nIndeks saham yang menanda aras dana yang dilancarkan semula, iaitu MSCI ACWI dan DJIM World, juga menunjukkan pertumbuhan yang konsisten sepanjang 10 tahun lalu,\u00a0meskipun pelbagai kitaran ekonomi dan peristiwa ekonomi berlaku.\nHal ini membuktikan bahawa dedahan global menjana pulangan yang menggalakkan dan menyediakan pelbagai manfaat kepada negara,\u201d jelas Ismitz Matthew De Alwis, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors.\nDalam hal ini, syarikat menggunakan strategi pelaburan aktif yang menggabungkan analisis pelaburan terhadap syarikat, seperti analisis makro berkaitan dengan\u00a0negara dan sektor dalam peruntukan aset.\nProses pelaburan adalah konsisten dengan falsafah syarikat untuk membuat pelaburan dalam syarikat yang menjana pertumbuhan perolehan dan memberikan pulangan yang memuaskan kepada modal, selain mengenal pasti syarikat yang terkurang nilai.\nFaktor utama\nDana tersebut adalah sesuai untuk pelabur yang ingin mendapatkan pertumbuhan modal dalam jangka masa pelaburan sederhana hingga jangka panjang. Jumlah pelaburan minimum awal ialah RM5000 dengan setiap pelaburan tambahan pada nilai RM200 untuk KGGF. Manakala bagi KGIF, RM1000 sebagai jumlah permulaan dengan RM100 bagi setiap pelaburan tambahan.\nLayari portal rasmi Kenangan Kenanga Investors Berhad untuk mendapatkan keterangan yang lebih lanjut." "Adaptasi Kerja di Bawah Cengkaman Pandemik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSehingga penghujung Februari 2021, kira-kira 130 buah negara masih belum menerima bekalan vaksin COVID-19, manakala Malaysia baru memulakan proses vaksinasi kumpulan pertama barisan hadapan dengan lebih daripada 300 000 individu telah menerima dos pertama vaksin setakat minggu kedua bulan Mac.\nPada masa yang sama, Persatuan Perubatan Malaysia dan Persatuan Gabungan Pengamal Perubatan Malaysia senada menyarankan mereka yang sudah menerima vaksin supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan mencuci tangan, demi melindungi mereka yang belum menerima vaksin tersebut.\nProses vaksinasi dijangka akan berterusan sehingga tahun 2022 untuk mencapai peratusan yang secukupnya bagi mencapai tahap imuniti kelompok, manakala pada kebiasaan baharu pula memerlukan masa beberapa tahun lagi, namun dijangka tidak mungkin sama seperti dahulu.\nMelihat akan vaksin yang dikatakan bukannya penawar ajaib sepenuhnya, masyarakat perlu berusaha ke arah aspek adaptasi bukan sahaja dalam gaya hidup, malah lebih penting lagi dalam amalan kerja. Usahawan, majikan, pekerja dan semua rakyat Malaysia perlu menyesuaikan diri dengan suasana baharu, mencari sumber pendapatan baharu seperti kerja atau perniagaan dalam talian, penghantar barang, e-panggilan (e-hailing),\u00a0pertanian dan banyak lagi.\nAwal Mac 2021, media Singapura melaporkan seorang konduktor opera ternama yang sebelum ini bekerja di Rusia terpaksa pulang ke negara itu untuk menjadi penghantar makanan. Kisah serupa turut didengar di Malaysia dengan kebanyakan golongan profesional atau bergaji tinggi beralih menjadi penghantar makanan, penghantar barang, pemandu\u00a0e-panggilan atau apa-apa sahaja sumber pendapatan yang ada. Pilihan sama terpaksa dibuat golongan buruh atau golongan yang tidak memiliki pendidikan tinggi selepas dibuang kerja, termasuk juga usahawan dan peniaga yang sudah gulung tikar, demi sesuap nasi untuk keluarga.\nMajikan yang masih mampu bertahan juga perlu melihat kepada pilihan jangka panjang bekerja dari rumah yang lebih selamat bagi semua pihak dengan penjimatan kos operasi seperti bil elektrik, air, sewa premis, peralatan, pengangkutan dan lain-lain. Hal ini memerlukan kepercayaan daripada pihak majikan dan diimbangi amanah daripada pekerja.\nBagi mereka yang mempunyai tanah di kampung, walaupun cuma sekangkang kera atau pun menyewa tanah orang, waktu getir inilah masa terbaik untuk mencuba pertanian moden. Baru-baru ini seorang pengguna media sosial berkongsi permulaan berniaga secara kecil-kecilan menanam cili di halaman rumah membolehkan beliau mengumpul modal yang cukup untuk menyewa lot tanah terbiar dan dalam tempoh yang singkat sudah memulakan ladang cili yang membawa pulangan mencecah lima angka sebulan.\nTerbukti pertanian secara kecil-kecilan atau sederhana mampu membawa pulangan besar melangkaui jangkaan, asalkan sanggup berusaha dan banyak bersabar. Jika tidak lumayan hasilnya, maka tidak mungkin begitu ramai golongan yang tidak memiliki tanah sendiri mahupun warga asing berterusan menceroboh tanah kerajaan dan hutan tebal seperti di Cameron Highlands semata-mata untuk menanam sayur.\nAda juga individu yang hilang pekerjaan berkongsi pengalaman membina perabot daripada kayu hutan dan papan terpakai sehingga menjadi satu perniagaan berjaya melangkaui pendapatannya ketika makan gaji.\nAda yang menjadi tukang masak dengan menu ringkas seperti kuih-muih, manisan dan nasi goreng bujang sahaja sudah cukup untuk menyara hidup. Semua urusan jual beli dibuat secara dalam talian dan waktu kerjanya juga \u00a0fleksibel untuk pulangan lebih besar berbanding dengan kerja pejabat yang menyebabkan mereka berjauhan daripada keluarga sehingga 16 jam setiap hari sebelum ini.\nApa-apa jua bentuk sumber pendapatan ketika negara dilanda wabak penyakit, adaptasi kerja perlu mengambil kira bidang tugas dan sektor pekerjaan kerana satu kaedah atau Prosedur Operasi Standard (SOP) tidak dapat memenuhi keperluan semua sektor industri di Malaysia. Banyak faktor lain turut memainkan peranan termasuk permintaan pelanggan (bagi produk dan perkhidmatan), pusingan modal dan juga nasib. Tiada jaminan apabila bekerja sendiri atau pun makan gaji terlindung daripada impak COVID-19.\nTuntasnya, perkara paling penting dalam situasi mencabar kini ialah keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu dan keluar dari zon selamat demi memastikan kelangsungan hidup \u00a0bagi diri sendiri dan juga keluarga." "Khazanah Melantik Mantan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Maybank sebagai Pengarah Urusan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Baru-baru ini, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) melantik Datuk Amirul Feisal Wan Zahir sebagai Pengarah Urusan Khazanah yang berkuat kuasa pada 16 Julai 2021.\nDalam kenyataan media, Amirul Feisal, 51, bakal menggantikan Datuk Shahril Ridza Ridzuan yang akan melepaskan jawatan tersebut apabila kontraknya tamat kelak bagi menumpukan perhatian kepada usaha peribadi.\nKhazanah menjelaskan bahawa Lembaga Pengarah mengalu-alukan pelantikan Amirul Feisal dan yakin bahawa berdasarkan kepakaran dan pengalaman beliau, Khazanah akan terus maju dalam usaha menyampaikan mandat yang diberikan.\n\u201cLembaga Pengarah turut menyampaikan penghargaan kepada Datuk Shahril atas jasa dan sumbangan beliau sepanjang berkhidmat sebagai Pengarah Urusan, terutamanya kejayaan dalam mengetuai pelaksanaan strategi yang telah menyaksikan Khazanah berada pada kedudukan yang kukuh, bahkan mampu mengharungi persekitaran yang mencabar akibat penularan pandemik COVID-19,\u201d jelas beliau dalam kenyataan itu.\nMenurut laporan, \u00a0Datuk Amirul\u00a0mempunyai pengalaman banyak dalam sektor kewangan. Antaranya beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan\u00a0di Malayan Banking Berhad (Maybank); Pengarah Urusan Kumpulan di Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM);\u00a0Naib Presiden Eksekutif, Projek Khas di Permodalan Nasional Berhad (PNB); Pengarah Urusan, Ketua Perbankan Pelaburan di Maybank Investment Bank Berhad; Pengarah Eksekutif di Binafikir Sdn.\u00a0Bhd. dan banyak lagi.\nAmirul Feisal merupakan Ahli Perbankan Bertauliah Institut Bank Berkanun Asia, Ahli Institut Akauntan Malaysia dan Felo Institute of Chartered Accountants England and Wales. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Ekonomi (Perakaunan dan Kewangan) dari London School of Economics." "Kaunter Perkhidmatan Percukaian LHDNM Mula Beroperasi 1 Julai 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBermula 1 Julai 2021, semua kaunter perkhidmatan percukaian Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) di pejabat Cawangan, Pusat Satelit dan Pusat Khidmat Hasil (PKH) mula beroperasi seperti biasa bagi memudahkan urusan.\nWaktu operasi kaunter perkhidmatan percukaian ini ialah bermula pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari (berdasarkan hari bekerja di setiap negeri). Para pelanggan perlu membuat janji temu secara dalam talian (e-Janji Temu) sebelum hadir ke kaunter perkhidmatan.\nCara Janji Temu (e-Janji Temu):\n1) Layari portal rasmi LHDNM\n2) Klik pada menu \u2018Hubungi Kami\u2019\n3) Klik e-Janji Temu\nDalam hal ini, LHDNM ingin menasihatkan pelanggan yang menghadiri janji temu agar sentiasa mengemaskini Status Risiko COVID-19 pada aplikasi MySejahtera.\nPelanggan juga perlu mematuhi setiap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19." "Hargai Peluang Memilih Kerjaya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDunia kini dihuni lebih daripada 7.8 bilion orang pada tahun 2020, yakni satu angka yang tidak terjejas walaupun 3.84 juta orang meninggal dunia akibat wabak COVID-19. Dengan kadar kelahiran dijangka menurun daripada 2.5 orang bayi bagi setiap wanita kepada 1.9 kelahiran bagi setiap wanita pada abad ini, perangkaan itu dijangka mencecah 10.9 bilion menjelang penghujung abad ke-21.\nBayangkan dengan jumlah manusia dari pelbagai agama, bangsa dan budaya, pastinya tiada satu, sepuluh mahupun 100 jenis sumber pendapatan sahaja yang sesuai untuk semua. Banyak faktor menjadi penentu sama ada seseorang itu menjadi pekerja makan gaji, peniaga atau usahawan, mahupun cuma menghabiskan harta ibu bapa yang kaya-raya. Kelulusan pendidikan, kecerdasan minda (IQ), kecerdasan emosi (EQ), semangat untuk berusaha, cita-cita mahupun nasib dan keturunan mungkin menjadi penentu.\nDalam konteks Malaysia, secara tradisinya ibu bapa melihat kerjaya hebat seperti doktor, peguam dan jurutera sebagai menjamin masa depan anak-anak. Namun begitu, anjakan paradigma moden kini lebih beralih kepada mendidik anak untuk menjadi usahawan dan mengejar kemewahan, tetapi tidak kurang juga lebih gemar anak-anak mengejar apa-apa jua cita-cita khususnya kerjaya mulia seperti guru, imam masjid, tahfiz, pakar budaya serta bermacam-macam cabang ilmu yang semakin berkembang, asalkan dapat menjalani kehidupan dengan tenang dan gembira.\nKerjaya tradisi masih diletakkan pada kedudukan yang tinggi, tetapi tidak lagi eksklusif sebagai sumber ekonomi terbaik untuk kehidupan dan membina keluarga. \nMemasuki tahun ke-64 merdeka, kebanyakan rakyat Malaysia mempunyai pilihan untuk mengejar cita-cita, khususnya bukan berasaskan wang dan kekayaan, malah bebas ke arah yang paling menggembirakan diri atau dapat menyumbang kepada masyarakat dan negara.\nKebanyakan anak muda yang mendapat inspirasi untuk menyelamatkan nyawa menyertai pasukan beruniform. Mereka yang ingin mewariskan ilmu kepada generasi akan datang menjadi warga pendidik \u2013 guru tadika, guru sekolah, pensyarah, penyelidik dan ahli akademik. Tidak kurang juga pilihan cabang agama untuk anak-anak menjadi imam, tahfiz, ustaz dan ustazah walaupun ibu bapanya bukan berlatarbelakangkan agama.\nAda yang mengejar kekayaan melalui pelaburan, sektor kewangan dan insurans, mahupun kerjaya berbahaya yang memberikan pulangan lumayan. Begitu juga jika memilih untuk mewarisi kerjaya tradisi keluarga sebagai ahli perniagaan, ahli politik, petani moden dan penternak, ataupun sebagai sukarelawan dalam pelbagai pertubuhan bukan.\nKeadaan ini jelas mewujudkan kepelbagaian sumber pendapatan dan kerjaya pilihan yang terbuka luas kepada semua generasi muda. Situasi ini jauh bezanya berbanding dengan zaman awal kemerdekaan yang menyaksikan datuk, nenek serta ibu bapa kepada anak muda sekarang berdepan peluang terhad dalam usaha mencari rezeki untuk diri dan keluarga. Sememangnya, ada juga yang terpaksa menerima apa-apa sahaja peluang kerjaya demi kelangsungan hidup, tetapi tetap mampu berjaya jika sanggup berusaha.\nZaman sudah berubah. Jika dahulu kerjaya tradisi dijulang sebagai \u201corang hebat dan berjaya\u201d, zaman sekarang kita tidak boleh berterusan melabel dari segi pendapatan dan milikan harta. Status sosial dalam masyarakat, di sekolah, universiti, hubungan ahli keluarga malah dalam mencari jodoh tidak boleh lagi mengutamakan kerjaya dan pendapatan.\nHasil globalisasi dunia dan semangat kapitalis, begitu ramai (bukan semua) berkejaran memburu kemewahan dengan sebilangan daripadanya mencari dari sudut ekonomi gelap \u2013 judi, penipuan dan aktiviti jenayah. Melalui media sosial, ada yang tebal rasa malu berkongsi kerjaya yang dilihat \u201ctidak cukup hebat\u201d sementara yang kaya hasil ekonomi gelap tanpa segan silu menayang kemewahan mereka.\nSelagi mana sumber pendapatannya halal dan tidak meragukan, usah diajar anak-anak memandang sinis pilihan kerjaya orang lain. Hargailah sumbangan setiap cabang ekonomi kepada keharmonian hidup seluruh rakyat di bumi bertuah ini kerana nilai atau darjat seorang manusia tidak terletak pada wang dan hartanya." "Agro Surge Pengeluar Baja Bumiputera Bervisi Tinggi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMenelusuri perjalanan di seluruh negara, antara yang menjadi hidangan mata pastinya pemandangan tanaman pokok kelapa sawit yang melatari dan melengkapkan landskap persekitaran di kiri dan kanan jalan raya. Sedar atau tidak, pokok kelapa sawit bukanlah sekadar tanaman yang memberikan impak suasana hijau semata-mata, namun hakikatnya mempunyai nilai komersial yang sangat tinggi sehinggakan diiktiraf sebagai tanaman komoditi utama di Malaysia selain industri getah, lada, perkayuan, koko dan biobahan api.\nMenyedari kelapa sawit dan minyak sawit menjadi nadi ekonomi negara, sebuah syarikat Bumiputera memberanikan diri membuka sebuah syarikat yang mengilang dan memasarkan baja sawit bagi memenuhi permintaan yang begitu tinggi untuk ladang berskala besar; milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan beberapa syarikat Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), seperti Guthrie dan Sime Darby serta ladang persendirian.\nAgro Surge Sdn. Bhd. (Agro Surge) menceburi industri pemprosesan baja kimia NPK (Nitrogen-N, Fosforus-P dan Kalium-K) dengan membuka kilang sendiri di Kampung Baru Subang, Selangor pada tahun 2017. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Siti Hawa Jaafar, 36 tahun, menegaskan syarikatnya mengambil tindakan proaktif tersebut setelah membuat kajian pasaran kerana mendapati potensi industri pemprosesan baja kimia diterokai oleh Bumiputera secara intensif.\nAgro Surge Sdn. Bhd. (Agro Surge) menceburi industri pemprosesan baja kimia NPK dengan membuka kilang sendiri di Kampung Baru Subang, Selangor pada tahun 2017. Siti Hawa menegaskan syarikatnya mengambil tindakan proaktif tersebut setelah membuat kajian pasaran kerana mendapati potensi industri pemprosesan baja kimia diterokai oleh Bumiputera secara intensif.\nPasaran yang luas dan kurangnya pelibatan Bumiputera dalam pembuatan atau pemprosesan input pertanian khasnya baja kimia untuk kelapa sawit (sawit) menyebabkan Agro Surge terpanggil terlibat secara serius dalam bidang tersebut. Hal ini berikutan penjualan atau pemasaran baja kimia NPK yang berada di pasaran Malaysia sejak tahun 60-an sejajar dengan usaha negara memperkenalkan sawit sebagai komoditi utama bagi membolehkan rakyat di negara ini mempunyai pendapatan yang lebih lumayan berbanding dengan tanaman dalam industri pertanian yang lain seperti padi, koko dan tembakau.\nKami mempertaruhkan jenama Sawit Emas yang perlu bersaing dengan pengeluar baja kimia yang sudah lama bertapak dalam industri ini. Terdapat pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi apabila Agro Surge menerokai bidang ini secara serius, khususnya mendapatkan mesin yang kompeten bagi penghasilan butiran baja yang standard, menepati piawaian dan keperluan ladang-ladang sawit.\nCabaran lain termasuklah untuk mendapatkan bahan mentah dengan harga yang stabil dan konsisten kerana kami perlu menggunakan khidmat pembekal (orang tengah) bagi mendapatkan bahan mentah, seperti ammonia dan muriate of potash yang diimport dari luar negara,\u201d jelas Siti Hawa atau lebih dikenali sebagai Hawa.\nBuka Kilang dengan Kos RM2 Juta \nPada peringkat awal penubuhannya pada tahun 2010, Agro Surge hanyalah sebuah syarikat yang mengedarkan pelbagai jenis baja kimia yang diperoleh dari kilang sedia ada. Namun begitu, syarikat milik Bumiputera ini melihat potensi yang sangat besar dalam industri pemprosesan baja kimia berikutan sawit merupakan tanaman komersial yang begitu konsisten dalam aspek keluasan tapak tanaman yang bertambah pada setiap tahun dan mempunyai pasaran yang stabil (minyak sawit).\n\u201cKami membelanjakan kira-kira RM2 juta bagi pembukaan kilang di Kampung Melayu Subang pada tahun 2017, yakni melibatkan pembelian mesin, sewaan premis (kilang), pembelian bahan mentah, tenaga kerja, pemasaran serta penyelidikan dan pembangunan (R&D). Kami mempunyai 20 orang kakitangan dan tujuh orang pekerja di bahagian pengeluaran.\nFormulasi baja kimia yang dihasilkan ialah berdasarkan penyelidikan dan pengalaman peribadi saya selama terlibat dalam kerja pemasaran baja sebelum ini. Bagi memastikan baja keluaran Agro Surge dengan jenama Sawit Emas benar-benar berkualiti, saya menggunakan baja tersebut terlebih dahulu untuk membuktikan keberkesanannya sebagai makanan kepada akar, batang pokok, daun dan buah sawit,\u201d terang Siti Hawa lagi.\nAgro Surge kini sudah menambah dua lagi mesin pemampat baja keluarannya dengan kos pembelian RM300 ribu. Mesin ini sepenuhnya dibangunkan oleh syarikat tempatan, yakni mampu menghasilkan baja Sawit Emas dengan kemampatan yang dikehendaki oleh bahagian kawalan kualiti Agro Surge.\n\u201cKami sentiasa meningkatkan kapasiti pengeluaran kerana permintaan baja kimia yang berjenama Sawit Emas semakin meningkat. Jika sebelum ini pada tahun 2020, kapasiti pengeluaran baja ialah sekitar 18 ribu tan sahaja, namun dengan pertambahan dua lagi mesin pemampat butiran baja ini, kapasiti pengeluaran meningkat sebanyak 25 ribu tan, iaitu pertambahan 7000 tan pada tahun ini,\u201d kongsi Siti Hawa.\nBaja Sawit Emas tanpa Salutan \nPenggunaan butiran baja yang dipadatkan tanpa salutan (coating) lebih praktikal kepada semua jenis ladang atau kebun sawit, sama ada skala besar ataupun skala kecil. Baja Sawit Emas yang padat memberikan kelebihan dan kebaikan untuk akar, batang daun dan buah sawit meresap tanpa meninggalkan sisa di atas tanah.\nBaja Sawit Emas tidak mengandungi bahan lengai, seperti tanah liat dan silikon seperti baja keluaran syarikat lain. Hal ini menjadikan kadar serapan baja yang ditabur sekitar pokok kelapa sawit lebih efisien walaupun ketika cuaca panas dan kering atau lembap dan hujan.\nHal ini tidak bermakna baja yang bersalut atau tanpa salutan tidak baik untuk tanaman sawit, namun dari aspek kos pengeluaran hal ini menjadi lebih mahal. Apabila kos pengeluaran mahal, secara relatifnya harga baja tersebut menjadi lebih mahal disebabkan oleh pengeluar terpaksa menampung kos tambahan dari bahan lengai untuk membuat salutan atau tanpa salutan tersebut.\nAntara kelebihan menggunakan baja Sawit Emas ini, termasuklah kandungan baja yang diformulasi oleh saya dan suami, Jamaludin Md. Desa selaku Pengarah Operasi Agro Surge, baja keluaran syarikat ini mempunyai agen penyubur kualiti tanah. Kebanyakan tanah pertanian di Malaysia digunakan secara intensif kerana cuaca khatulistiwa di Malaysia membolehkan peladang dan pekebun sawit menggunakan tanah pertanian sepanjang tahun.\n\u201cTidak seperti di negara yang mempunyai empat musim seperti di Jepun, Korea dan Belanda apabila tiba musim dingin, tanah pertanian tidak digunakan disebabkan oleh kekangan cuaca. Maka itu, tanah tersebut direhatkan sekitar tiga bulan hingga empat bulan. Perkara ini tidak berlaku di Malaysia, maka wajarlah baja yang digunakan perlu mengandungi agen pemulih kualiti tanah untuk meningkatkan hasil pertanian,\u201d jelas Siti Hawa tentang kelebihan penggunaan baja Sawit Emas.\n\u00a0\nJenama Sawit Emas\nSelepas lima tahun menghasilkan dan memasarkan produknya tanpa kenal erti putus asa, kini jenama baja sebatian, Sawit Emas keluaran syarikat Agro Surge, semakin mendapat kepercayaan usahawan tani di seluruh negara.\nBaja sebatian ini lebih mendapat sambutan kerana gabungan semua unsur NPK, iaitu N untuk daun, P untuk akar dan K untuk buah, dalam satu jenis baja. Hal ini menjadikan lebih jimat dari segi kos. Dalam konteks ini, hal ini penting bagi petani atau peladang untuk mengetahui keperluan tanaman masing-masing, sama ada kadar lebihkan N, P atau K dan sebagainya. Adakalanya mereka ditipu oleh penjual baja yang tidak bertanggungjawab.\n\u201cKebiasaannya, proses kenal pasti masalah tanaman perlu dilakukan untuk mendapatkan bimbingan dan cadangan produk baja yang sesuai untuk digunakan. Itu cara saya, menjual sambil mendidik,\u201d terang Siti Hawa.\nSetakat ini, Agro Surge sudahpun menghasilkan 14 produk baja dengan lima jenis pengkhususan tanaman, iaitu Sawit Emas, Durian Emas, Padi Emas dan Getah Emas dan Lala Grow (baja serba guna). Bersandarkan peningkatan kapasiti pengeluaran dan permintaan baja keluaran Agro Surge yang semakin meningkat, syarikat ini dalam perancangan memindahkan kilang mereka ke lokasi baharu pada Julai ini.\nDalam dunia perniagaan, tiada satupun jaminan yang membolehkan syarikat berada pada tahap selesa selamanya. Oleh sebab itu, seorang usahawan perlu memberanikan diri mengambil risiko dengan membuka kilang baharu yang lebih besar dan mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran semaksimum mungkin. Selain itu, Agro Surge juga amat menitik beratkan kepuasan antara pelanggan dengan pengguna baja. Penghantaran baja yang tepat pada waktunya, berurusan antara ejen dengan pengedar yang dilantik dan memberikan peluang kepada pengguna berkongsi pengalaman setelah menggunakan produk baja adalah sangat diutamakan.\nBersandarkan perubahan gaya hidup dan teknologi komunikasi, Agro Surge turut memberikan penekanan aspek penjenamaan dan penggunaan medium media sosial untuk mempromosi produk baja keluaran, seperti Facebook dan Instagram.\n\nAgro Surge\n@agrosurge\nwww.agrosurge.com" "Pengurusan Kewangan yang Berintegriti, Kukuhkan Ekonomi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya, 2 Julai \u2013\u00a0Anis Rizana Mohd.\u00a0Zainudin,\u00a0Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Kementerian Kewangan Malaysia mengajak seluruh masyarakat untuk bersama-sama\u00a0menguruskan\u00a0kewangan secara bijak dan berintegriti bagi mengukuhkan ekonomi diri, keluarga dan negara.\nKetika dihubungi, beliau yang\u00a0juga\u00a0merupakan ahli Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) Malaysia \u00a0berkata,\u00a0kegawatan ekonomi dan pandemik COVID-19 yang berlaku di seluruh dunia pada hari ini menuntut semua pihak untuk lebih berhemah dalam perbelanjaan.\n\u201cAgensi kerajaan secara khususnya perlulah meletakkan integriti sebagai asas utama dalam membuat perancangan dan perbelanjaan terhadap peruntukan kewangan demi mencapai matlamat pemulihan, seterusnya pengukuhan ekonomi rakyat dan negara.\nPihak Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) akan bersama-sama membantu kerajaan dalam usaha memastikan kebajikan rakyat terjaga sepanjang tempoh yang amat sukar ini,\u201d katanya lagi.\nTuan Sukairi Samsudin, seorang pengarah kewangan di sebuah agensi kerajaan turut bersetuju dengan saranan tersebut kerana integriti merupakan asas penting dalam pengurusan kewangan.\nMengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa sebarang kelemahan dalam pengurusan kewangan akan memberikan indikator berlakunya amalan yang tidak berintegriti dalam sesebuah organisasi.\nSikap pemborosan, pembaziran, penyelewengan dan salah guna kuasa boleh dielakkan dalam pengurusan kewangan, jika integriti menjadi teras pengurusannya.\n\u201cSemua pihak khususnya agensi kerajaan haruslah membuat perbelanjaan atau melaksanakan sesuatu projek yang memberikan hasil atau impak yang signifikan dengan penyelesaian isu ekonomi semasa.\nMaka itu, hubungan kerjasama antara agensi, jabatan mahupun kementerian penting bagi menyelaraskan perbelanjaan supaya tiada pertindihan projek yang boleh menjejaskan keberkesanan dan matlamat pengurusan kewangan bagi menangani kegawatan ekonomi semasa,\u201d jelas beliau ketika memberikan pendapat.\nPuan Zuriati Ariffin, Pengerusi Perhubungan ACeIO Negeri Melaka memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa bekerjasama dengan semua pihak, termasuklah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk membantu rakyat yang terkesan dengan kegawatan ekonomi semasa.\n\u201cACeIO menyambut baik kesemua pandangan dan saranan tersebut.\u00a0Kami akan turun padang\u00a0untuk\u00a0mendengar sendiri keluhan dan keresahan rakyat dalam meneruskan kehidupan di saat\u00a0sukar begini,\u201d kata Pengerusi Perhubungan ACeIO\u00a0Negeri Melaka selepas menyertai program Terjahan Kasih Lockdown bersama-sama Perkumpulan Wanita dan Perkim Negeri Melaka." "Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Pinda Akta Pasaran Modal\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u2013\u00a0Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melakukan beberapa pindaan ke atas Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2021.\nDalam kenyataan media yang dikeluarkan SC, pindaan tersebut melibatkan perubahan pada Jadual 6 dan Jadual 7 merujuk CMSA.\nMenerusi pindaan itu, kategori pelabur sofistikated diperluas untuk merangkumi individu dengan pelaburan bernilai RM1 juta dalam produk pasaran modal,\u00a0sama ada secara sendiri atau melalui akaun bersama dengan pasangan mereka; Ketua Pegawai Eksekutif dan pengarah berlesen atau individu yang berdaftar di bawah CMSA; dan syarikat\u00a0yang menguruskan dana syarikat berkaitan dengan mereka dan aset yang melebihi RM10 juta.\n\u201cPindaan ini membolehkan lebih banyak pelabur memperluas pilihan pelaburan mereka, manakala penerbit kini dapat meraih manfaat daripada kumpulan pelabur sofistikated yang lebih besar. Senarai penuh kriteria kelayakan pelabur sofistikated boleh didapati di portal rasmi tersebut,\u201d jelas SC.\nDi samping itu, pindaan pada\u00a0Jadual 6 dan Jadual 7 CMSA juga membolehkan Bursa Malaysia melaksanakan pendaftaran prospektus bagi Pasaran ACE berkuat kuasa 1 Januari 2022.\nSetelah fungsi pendaftaran tersebut berjaya dipindahkan, Bursa Malaysia akan menjadi pusat sehenti untuk semua kelulusan yang berkaitan dengan penyenaraian di Pasaran ACE.\nSementara itu, Jadual 5 CMSA juga dipinda dengan memasukkan beberapa perkara,\u00a0seperti penawaran bursa awal bagi aset digital melalui Pengendali Pasaran yang Diiktiraf; dan tawaran awam awal (IPO) atau penyenaraian silang saham syarikat awam atau syarikat tersenarai di bursa saham di luar Malaysia.\nJadual ini menetapkan jenis cadangan korporat yang tidak memerlukan kelulusan SC." "Tahap Daya Saing Ekonomi Malaysia di Kedudukan ke-25 Terbaik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Laporan World Competitiveness Yearbook 2021 yang menjadi penanda aras kepada tahap daya saing global meletakkan ekonomi Malaysia di kedudukan ke-25 daripada 64 buah negara.\nKetika majlis pelancaran rasmi secara maya berkaitan dengan Laporan Produktiviti 2021, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kedudukan negara dalam laporan itu meningkat daripada tangga ke-27 pada tahun lalu.\n\u201cWalaupun kedudukan ini menunjukkan bahawa inisiatif pembaharuan telah berjaya, namun masih terdapat banyak lagi usaha perlu dilakukan untuk memastikan aspek kawal selia kita cukup bersiap sedia terhadap sebarang perubahan.\n\u201cOleh itu, kerangka kerja kawal selia perlu direka untuk membolehkan inovasi teknologi diterima, memastikan persekitaran perniagaan yang terbuka dan tiada diskriminasi, melindungi pengguna dan pekerja serta menangani kesan gangguan yang tidak diingini,\u201d katanya.\nDalam situasi pandemik semasa, peraturan yang menyokong dan kerangka operasi yang menyeluruh amat diperlukan untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif supaya syarikat dapat beroperasi dengan produktif dan berdaya saing.\nTambahnya lagi, pandemik COVID-19 ini mendorong agenda perubahan aspek kawal selia ke tahap baharu yang menyaksikan pelaksanaan peraturan dan keputusan dasar yang lebih baik.\nBagi mencapai objektif berkenaan, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) terus bekerjasama secara rapat dengan Pasukan Petugas Khas Pemudah\u00a0Cara Perniagaan (PEMUDAH) untuk mengurangkan sebarang beban kawal selia ke atas perniagaan baharu dan sedia ada.\n\u201cApabila Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) digerakkan untuk mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi dan destinasi utama bagi industri berteknologi dan berimpak tinggi; pembuatan pintar dan perkhidmatan berkaitan; serta penyediaan penyelesaian menyeluruh untuk teknologi canggih; proses transformasi digital kita juga perlu bergerak seiring.\n\u201cKita menyaksikan hasil pertama daripada NIA di mana sebanyak RM80.6 bilion nilai pelaburan telah diluluskan dalam sektor utama, pembuatan dan perkhidmatan bagi separuh pertama tahun kewangan 2021.\n\u201cIni merupakan lonjakan sebanyak 95.6 peratus dalam pelaburan yang diluluskan berbanding dengan tempoh sama pada tahun lalu,\u201d jelas Mohamed Azmin." "Kebitaraan Bahasa Melayu dalam Pembentukan \u201cKeluarga Malaysia\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBANGI \u2013 Bahasa merupakan asas jati diri manusia. Tanpa bahasa, manusia tidak dapat membentuk jati diri dan tidak dapat membina tamadun. Nilai bahasa kita berdasarkan acuan kita sendiri termasuklah kurniaan bahasa oleh Allah SWT. Pelbagai tamadun manusia tumbuh dan berkembang seiring dengan pertumbuhan dan perkembangan bahasanya (Yunani, Islam dan sebagainya).\n Menurut YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, fungsi bahasa dalam pengembangan dan pembentukan tamadun manusia dalam pembentukan \u201ckeluarga Malaysia\u201d termasuklah sebagai asas pembentukan konsep diri manusia melalui akal pemikiran. Bahasa sebagai asas pengilmuan manusia termasuklah kepentingan bahasa sebagai alat penyebaran dan pengembangan ilmu kepada khalayak. Bahasa juga sebagai perantaraan perhubungan sosial termasuklah tingkah laku dan pembentukan adab sebagai alat yang mengawal fungsi sosial manusia.\nTambah beliau, bahasa juga menjadi perantaraan pewarisan tamadun melalui pembinaan dan penakatan tamadun termasuklah melalui karya undang-undang, bahasa diplomasi, bahasa perdagangan, politik, metafizik, ketatanegaraan, pantun, syair, gurindam dan sebagainya.\nBahasa Melayu turut berfungsi sebagai alat yang mengangkat ilmu historiografi (persejarahan) termasuklah dalam Hukum Kanun Melaka dan undang-undang, Kitab Ilmu Bedil, Hikayat Hang Tuah, surat-surat Sultan Kedah dan sebagainya yang membuktikan kecemerlangan dan kebitaraan bahasa Melayu. Warkah dan surat perjanjian juga ditulis dalam tulisan Jawi dan bahasa Melayu.\n\u00a0\nBahasa Melayu yang diwarisi hingga kini terbentuk dalam era kebudayaan Melayu\u2013Islam. Bentuknya yang baku (dalam hal bentuk kata dan susunan ayat) jauh berbeza daripada bahasa Melayu pada zaman kuno yang dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit dan kini tidak difahami lagi oleh orang Melayu.\nIslam telah mewariskan tulisan yang memungkinkan berkembangnya agama dan tradisi ilmu di seluruh alam Melayu. Fahaman kebangsaan dengan pengertian umat Melayu Islam terbentuk dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai lingua franca, bahasa ilmu dan lain-lain. Bahasa baku penting sebagai tonggak tamadun bangsa dan negara. Antara wasiat Hassan al-Bana termasuklah perlunya bahasa baku dipertahankan kerana ilmu perlu diolah dalam bahasa yang baku dan baik.\nMenurut beliau lagi, peranan bahasa Melayu sebagai tonggak zaman baharu pula menyaksikan sejarah bahasa Melayu dalam pembinaan dan penakatan tamadun di alam Melayu termasuklah di Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, Cambodia, Filipina.\nAntara isu bahasa Melayu ialah kelunturan dan pelunturan bahasa Melayu, iaitu bermula sejak zaman penjajahan, iaitu bahasa Melayu diturunkan martabatnya sebagai bahasa vernakular. Manakala dalam senario semasa pula, bahasa Melayu telah mengalami kemerosotan dalam aspek taraf dan mutu termasuklah dalam dampak globalisasi serta teknologi maklumat dan komunikasi.\nDalam pengisian gagasan \u201ckeluarga Malaysia\u201d oleh Perdana Menteri Kesembilan, peranan bahasa Melayu sebagai asas jati diri rakyat Malaysia perlu ditingkatkan dan diperluas. Sementara itu, bagi merealisasikan bahasa Melayu sebagai \u201cBahasa Jiwa Bangsa\u201d, beberapa langkah diadakan termasuklah melalui perancangan taraf bahasa Melayu, perancangan korpus atau sistem bahasa seperti ejaan, sebutan, kosa kata, tatabahasa dan laras bahasa; serta melalui pembinaan negara. Langkah pemartabatan bahasa Melayu juga telah diadakan melalui program diplomasi kebudayaan pada peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.\nDemikianlah penerangan menarik daripada YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, yang bersiaran secara langsung melalui aplikasi Zoom dan Facebook Jabatan Muzium Malaysia dalam Seminar Kebangsaan Alam dan Tamadun Melayu: \u201cMemperkasakan Warisan, Sejarah, Adat dan Jati Diri Bangsa Melayu\u201d anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Muzium Malaysia pada pukul 9.00 pagi tadi. Yang turut hadir ialah Dr. Junaini Kasdan, selaku moderator." "PKPD: Kaunter Perkhidmatan LHDNM Ditutup Sementara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSelaras dengan pengumuman kerajaan berkaitan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di seluruh Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM)\u00a0memaklumkan bahawa semua kaunter perkhidmatan Perkhidmatan Percukaian, Kaunter Duti Setem dan Kaunter Bantuan Khas Kerajaan akan ditutup sementara bermula pada 5 Julai 2021 bagi kawasan yang terlibat dengan PKPD.\nSehubungan dengan itu, semua janji temu pelanggan yang telah diluluskan melalui sistem e-Janji Temu akan dibatalkan secara automatik. Pelanggan perlu membuat permohonan janji temu yang baharu setelah kaunter dibuka semula pengoperasiannya.\nNamun begitu, Kaunter Pusat Bayaran masih beroperasi seperti biasa dengan perkhidmatan dan waktu operasi yang terhad seperti yang berikut:\nBayaran Menggunakan Kad Kredit dan Kad Debit:\n\u00b7 Cukai Pendapatan dan Cukai Lain\nIsnin \u2013 Jumaat\n8.00 pagi \u2013 12.00 tengah hari\nDalam tempoh PKPD ini juga perkhidmatan telefon dan HASiL Live Chat akan beroperasi seperti biasa bagi membantu pelanggan khususnya pembayar cukai dalam urusan percukaian mereka.\nWaktu Operasi Perkhidmatan Telefon dan HASiL Live Chat\natau\nTalian Hotline BPR\n1800-88-2747" "LHDNM: Permohonan Surat Penyelesaian Cukai bagi Syarikat, Perkongsian Liabiliti Terhad dan Entiti Labuan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) memaklumkan bahawa Garis Panduan Operasi Bilangan 3 Tahun 2021 yang menerangkan kaedah Permohonan Surat Penyelesaian Cukai bagi Syarikat, Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) dan Entiti Labuan (Syarikat Labuan dan PLT Labuan) telah dimuat naik dalam Portal Rasmi LHDNM sebagai rujukan dan panduan kepada pembayar cukai.\n\nGaris panduan ini membatalkan Garis Panduan Operasi Bilangan 2 Tahun 2019 yang telah dikeluarkan pada 12 November 2019.\nPara pelanggan boleh mendapatkan garis panduan dengan mengikuti langkah mudah seperti yang disediakan. Bagi maklumat lanjut, pelanggan juga boleh diajukan melalui:" "Agoda Lancar Vaxxed To Go, Menyokong Usaha Imunisasi Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAgoda menyokong usaha vaksinasi kebangsaan melalui kempen Vaxxed To Go.\n\nKuala Lumpur \u2013 Program vaksinasi yang dilakukan secara besar-besaran menjadi tonggak pemulihan bagi kesihatan awam dan ekonomi di Malaysia, serta menjadi perintis kepada Agoda untuk melancarkan kempen Vaxxed To Go bagi menyokong usaha imunisasi di seluruh negara Malaysia.\nAgoda dan rakan sinergi perhotelannya memberikan insentif kepada pelancong yang telah mendapat dos vaksin lengkap dengan tawaran percutian dan faedah tambahan.\n\u201cSetelah lama menjalani perintah kawalan pergerakan, pastinya ramai rakyat Malaysia tidak sabar untuk melancong semula apabila dibenarkan kelak. Kempen Vaxxed To Go ini dapat memberikan jaminan kepada pelancong untuk melancong dalam keadaan yang lebih terjamin,\u201d kata Cleland Robertson, Pengarah Negara, Malaysia dan Brunei, Agoda di sidang media.\nMenerusi kempen ini, Agoda turut berharap dapat menyatupadukan industri pelancongan dan hospitaliti untuk membantu memulihkan kembali ekonomi negara.\n\u201cDengan adanya Vaxxed To Go, pihak\u00a0perhotelan boleh menawarkan diskaun kepada pelanggan\u00a0yang telah mendapat dos vaksin lengkap apabila pelancongan domestik dibenarkan kelak, berserta dengan faedah istimewa seperti tingkat taraf bilik, atau diskaun makanan dan minuman.\nVaxxed To Go\u00a0merupakan satu daripada sambungan kepada tawaran\u00a0istimewa oleh\u00a0Agoda, yang dilancarkan pada bulan Mei lalu.\u00a0Sebagai pasaran rintis untuk kempen ini\u00a0di Malaysia, Agoda mempunyai sasaran untuk melancarkan Vaxxed To Go pada negara lain dalam tempoh beberapa bulan akan datang,\u201d tambah beliau.\nKempen ini\u00a0selaras dengan perlaksanaan Pelan Pemulihan Negara Malaysia (PPN), yang meletakkan vaksinasi sebagai satu daripada tiga penunjuk nilai ambang utama untuk pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial secara berperingkat.\nMalaysia merupakan antara negara yang mempunyai kadar vaksinasi yang terpantas di dunia dengan Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19, iaitu setakat 31 Julai\u00a0kira-kira 63\u00a0peratus\u00a0telah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin.\nTawaran istimewa serta faedah tambahan yang ditawarkan dalam kempen Vaxxed To Go\u00a0hanya terbuka kepada mereka yang mempunyai bukti vaksinasi lengkap.\nKetika mengakhir ucapan, Cleland berkata, Agoda berharap kempen ini dapat memberikan inspirasi kepada pemain industri untuk memainkan peranan masing-masing dalam membantu Malaysia mencapai imuniti kelompok dengan segera." "Produk Sarang Burung Walet Raih RM714 Juta daripada Aktiviti Eksport\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Malaysia menyaksikan eksport produk sarang burung walet mencecah 962 tan metrik bernilai RM714 juta setakat bulan April 2021.\nMenurut Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, pencapaian tersebut sekali gus menunjukkan eksport komoditi produk sarang burung walet kekal kukuh,\u00a0terutamanya ketika negara masih mengharungi penularan pandemik COVID-19.\n\u201cMAFI sentiasa menggalakkan pengeksportan produk\u00a0sarang burung walet ke luar negara bagi meningkatkan nilai eksport produk dan daya saing industri ini secara keseluruhannya.\n\u201cPada tahun 2019, jumlah eksport adalah sebanyak 5654 tan metrik bernilai RM1.154 bilion dan dilihat sebagai antara industri berasaskan ternakan yang menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negara.\n\u201cManakala, pada tahun 2020, jumlah eksport adalah sebanyak 3640 tan metrik bernilai RM1.385 bilion,\u201d katanya dalam kenyataan berhubung lawatan kerja beliau ke loji pemprosesan sarang burung walet PT Swift Marketing Sdn. Bhd.\nLoji berkenaan merupakan antara yang berdaftar dengan pihak General Administration of Customs of People\u2019s Republic of China (GACC) yang diberikan\u00a0kelulusan untuk mengeksport sarang burung walet mentah bersih ke negara tersebut.\nSehingga tahun 2021, sebanyak 41 loji telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negara China,\u00a0iaitu 38 loji sarang burung walet bersih (EBN-RC) dan tiga buah loji sarang burung walet belum bersih (EBN-RUC).\nSebelum ini, MAFI melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berjaya mewujudkan satu Program Sistem Pendaftaran Premis Walet yang dikenali sebagai Malaysia EBN Traceability System\u00a0(METS).\nProgram itu bertujuan mengukuhkan sistem daya jejak bagi mencapai piawaian global serta menjadi salah satu syarat dalam pengeksportan sarang burung walet Malaysia ke China.\nDVS mengambil pelbagai langkah untuk terus meningkatkan pengeluaran Edible Bird Nest (EBN) melibatkan aktiviti dalam semua rantaian nilai industri tersebut,\u00a0iaitu pengeluaran sarang burung walet, pengumpulan, pemprosesan dan pemasaran.\nLangkah berkenaan termasuklah menggalakkan pendaftaran premis walet dengan DVS bagi tujuan pemantauan.\nSecara keseluruhannya, sebanyak 12\u00a0954 premis walet telah didaftarkan oleh DVS di seluruh negara setakat ini." "PKS Terima RM12.14 Bilion Pembiayaan Mudah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bank\u00a0tempatan telah meluluskan sebanyak RM12.14 bilion pembiayaan mudah yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia kepada 25\u00a0711 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) setakat 11 Jun 2021.\nMenteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, jumlah berkenaan termasuk dana Special Relief Facility (SRF), Automation and Digitalisation Facility (ADF), All-Economic Sector Facility (AES) dan Agrofood Facility (AF).\n\u201cWalaupun dana SRF telah dimanfaatkan sepenuhnya, PKS masih boleh memohon skim pembiayaan yang masih tersedia melalui Tabung BNM seperti ADF, AES dan AF.\nPKS juga boleh mendapatkan pembiayaan lain melalui platform imSME\u00a0 boleh membantu dalam membuat padanan pembiayaan yang diperlukan dengan pelbagai penyedia dana untuk PKS,\u201d kata beliau dalam Laporan LAKSANA Ke-58.\nSementara itu, sebanyak 331 permohonan dengan pembiayaan berjumlah RM65.9 juta telah diluluskan untuk sektor pelancongan di bawah pakej rangsangan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).\nTambah Tengku Zafrul, kerajaan sebelum ini memperuntukkan sebanyak RM600 juta untuk PKS dan PKS mikro yang masih terkesan dengan penularan COVID-19.\nMengulas mengenai sokongan penggunaan teknikal dan digital, Tengku Zafrul berkata, sebanyak RM67.7 juta disalurkan kepada 13 870 PKS dan syarikat di peringkat pertengahan (MTC).\nBantuan itu diberikan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi, jelas beliau lanjut.\nBagi bantuan Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank pula, beliau berkata, sebanyak RM161.46 juta telah disalurkan oleh kerajaan untuk memanfaatkan 13\u00a0229 PKS mikro pertanian setakat 11 Jun lalu.\n\u201cPembiayaan bernilai RM400 juta telah diperuntukkan bagi golongan petani, peladang dan nelayan.\n\u201cDi bawah skim ini, RM350 juta merupakan peruntukan di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank,\u201d katanya." "Harga Petrol RON95 dan Diesel Kekal hingga 28 Julai 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur, 15 Julai 2021 \u2013 Meskipun harga pasaran sebenar bagi petroluem telah meningkat melebihi paras harga siling yang ditetapkan, Kerajaan masih mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter.\nMenurut Kementerian Kewangan Malaysia, perkara ini dilaksanakan bagi melindungi pengguna daripada terkesan disebabkan oleh kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global.\nBerdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula\u00c2\u00a0Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit produk petroleum bagi tempoh 15 Julai 2021 hingga 28 Julai 2021 adalah ditetapkan seperti berikut:\n\nDalam usaha ini, Kerajaan akan sentiasa memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang signifikan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, lebih-lebih lagi ketika pandemik COVID-19 ini." "Integriti Teras Kejayaan Pemulihan Ekonomi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJeli \u2013 Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Dato\u2019 Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin pada 28 Jun yang lalu telah mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berjumlah RM150 bilion yang merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak 10 bilion ringgit.\nPakej yang dilaksanakan bertujuan memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat dan tertumpu pada tiga fokus utama, iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.\nMenteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YB Dato\u2019 Sri Mustapa Mohamed ketika dihubungi menyatakan, PEMULIH perlu diuruskan dengan penuh integriti supaya pelaksanaannya mencapai tujuan bagi melindungi dan memulihkan ekonomi rakyat.\nMengulas lanjut, beliau berkata kerajaan sentiasa mengalu-alukan sokongan dan kerjasama semua pihak bagi menjayakan agenda murni ini.\nMenurut Dato\u2019 Sri Mustapa lagi, kerajaan turut mengalu-alukan pemantauan dan maklum balas masyarakat berkaitan dengan pengurusan pakej PEMULIH untuk memastikan pakej ini dapat diuruskan secara berintegriti dan mencapai sasaran yang ditetapkan.\n\u201cKerajaan amat menghargai dan berterima kasih kepada semua pihak khususnya pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan yang turut turun padang bersama-sama membantu rakyat yang terjejas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)\u201d, ujar beliau.\nBeliau juga turut menyampaikan penghargaan kepada Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (AceIO) atas sumbangan dan kerjasama persatuan ini dalam menjayakan pembudayaan integriti dan antirasuah dalam kalangan masyarakat khususnya di kawasan Parlimen Jeli.\nRamzi Yusoff yang juga merupakan seorang penggerak masyarakat dan Integrity Champion amat berterima kasih kepada pihak kerajaan atas keperihatinan kerajaan dalam membantu melindungi dan memulihkan ekonomi rakyat.\nBeliau juga mewakili masyarakat yang terjejas dan terkesan dengan keadaan ekonomi negara akibat pandemik COVID-19 berharap agar semua pihak khususnya mereka yang diberikan tanggungjawab secara langsung ke atas pengurusan PEMULIH dapat memastikan pakej ini diuruskan secara berintegriti tanpa melibatkan sebarang unsur penyelewengan, salah guna kuasa mahupun rasuah.\nPresiden AceIO, Ahmad Sabri Mohamed ketika diminta mengulas perkara ini berkata, beliau amat menghargai usaha dan inisiatif kerajaan dalam memulihkan ekonomi rakyat yang amat terkesan dengan PKP ini.\nBeliau juga menyeru semua pihak untuk sentiasa meletakkan integriti sebagai teras dalam apa-apa pengurusan dan penyampaian perkhidmatan khususnya apabila melibatkan kepentingan rakyat termasuklah dalam agenda pemulihan ekonomi rakyat serta negara.\nSabri turut mengajak semua lapisan masyarakat untuk menjadikan integriti sebagai amalan dan budaya dalam kehidupan.\nSelain itu, beliau mengajak semua pihak khususnya Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) untuk bersama-sama ACeIO membantu kerajaan dalam menjayakan agenda integriti nasional termasuk Pelan Antirasuah Nasional (NACP).\nBeliau juga turut mengambil peluang mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua pejuang integriti dan antirasuah termasuk para CeIO, ahli-ahli ACeIO, Muslimin dan Muslimat yang menyambutnya." "Pakej Ransangan Ekonomi dan Pelan Pemulihan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Pelan Pemulihan Negara: Pendekatan Strategi Keluar daripada Kemelut COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPelan Pemulihan Negara (PPN) merupakan satu daripada pelan dinamik yang diperkenalkan oleh kerajaan sebagai strategi untuk keluar Malaysia daripada krisis pandemik COVID-19.\nDengan mengambil pendekatan \u201cWhole of Nation\u201c, pelan dinamik ini dirangka dan sentiasa ditambah baik berdasarkan input dari semua pihak tanpa mengira latar belakang politik." "Depresi Ekonomi Akibat COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPandemik COVID-19 masih memuncak. Sama ada angka jangkitan dan kematian akan terus meningkat atau mungkin menurun, namun hakikatnya kesan wabak ini di seluruh dunia begitu besar. Hal ini bukan sahaja menyentuh aspek sosial dan psikologi, malah membabitkan secara langsung hal ehwal ekonomi dan kewangan global.\nProfesor Nouriel Roubini dari Universiti New York menerusi tulisan berjudul \u201cA Greater Depression\u201d sebagaimana yang disiarkan dalam laman universiti berkenaan Stern.nyu.edu pada April 2020 membuat telahan bahawa kesan yang berlaku ini sangat besar dan ketara.\nBeliau mencatatkan bahawa pandemik COVID19 bakal mendatangkan \u201ckejutan luar biasa\u201d kepada ekonomi dan kewangan dunia. Kesan tersebut, jelas beliau lebih teruk berbanding dengan krisis kewangan\u00a0tahun\u00a02018 dan depresi ekonomi era 1929-1939.\nNouriel Roubini ialah Profesor Ekonomi dan Perniagaan Antarabangsa di Universiti New York. Beliau juga pengasas syarikat penyelidikan strategi makroekonomi dan pasaran global, iaitu Roubini Global Economics.\nTelahan ini tentu ada asasnya apabila dapat dilihat secara ketara, iaitu hanya dalam tempoh dua minggu sahaja di Amerika Syarikat sendiri sebagai contoh, 10 juta kehilangan pekerjaan. Ternyata impak wabak ini sangat besar.\n\nAngka ini begitu menakutkan kerana melangkaui impak krisis kewangan 2008. Ketika krisis\u00a0tahun\u00a02008 itu, angka menunjukkan 8.8 juta orang hilang pekerjaan dalam 106 minggu dan tidak melibatkan 10 juta orang dalam dua minggu ketika pandemik COVID-19 ini.\nJika angka di Amerika Syarikat dapat dijadikan sandaran dan kayu ukur, peratusan rakyat negara itu tidak bekerja mencecah 8.9 peratus setiap tahun sebagaimana data yang dikeluarkan oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF). Pada masa yang sama, angka bilangan peluang pekerjaan baharu di kebanyakan sektor hampir tidak menunjukkan pertambahan yang memberangsangkan. Keadaan ini menunjukkan era kepesatan peluang pekerjaan di negara kuasa ekonomi itu menyusut pada kadar yang sangat ketara.\nKesan pandemik ini tidak terhad kepada sesetengah negara sahaja, malah negara yang diketahui sangat ampuh lagi kebal dari segi ketahanan ekonomi atau dianggap sebagai \u201ckalis krisis ekonomi\u201c, kini turut terancam dan tergugat. Di kebanyakan negara terbabit, berjuta-juta pekerja terpaksa \u201cdibantu dan dipapah\u201c menerusi beberapa skim yang terpaksa diperkenalkan kerajaan di negara tersebut. Bagi pekerja di kebanyakan sektor, terutamanya dalam sektor pelancongan, sebahagian besarnya terpaksa diberhentikan. Beberapa buah negara maju sendiri sudah terpaksa menyuntik pakej rangsangan bernilai trilion ringgit yang bertujuan untuk membantu industri dan kehidupan rakyat, sekali gus \u201cmenambah tenaga\u201d tambahan kepada ekonomi. Hal ini tentunya bukan sesuatu yang kebiasaannya dialami oleh dunia kewangan global sebelum ini.\n\nKesan yang lebih nyata daripada pandemik ini termasuklah apabila nilai pasaran saham global mulai merudum sejak Februari 2020 berikutan peningkatan kadar jangkitan COVID-19 yang ketara pada waktu itu, terutama di China. Situasi ini diikuti dengan kejatuhan yang berterusan dalam indeks utama dunia pada bulan berikutnya, iaitu Mac 2020.\nTernyata, depresi ekonomi berikutan pandemik COVID-19 memberikan kesan meluas dan teruk terhadap pasaran kewangan, termasuklah indeks saham, bon dan komoditi seperti minyak mentah serta emas.\nPertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri menjangkakan negara-negara membangun mengalami pengurangan pendapatan sehingga A.S.$220 bilion akibat pandemik ini dalam jangka masa pendek dan sederhana. Kesan itu menurut unjuran PBB, akan berkekalan mungkin sehingga beberapa tahun.\nSebagaimana COVID-19 yang terus berjangkit tanpa adanya petanda akan berhenti, kesan pandemik ini berjangkit sehingga melangkaui semua sektor ekonomi secara mikro dan makro. Contohnya, sektor peruncitan sendiri menunjukkan kesan yang ketara apabila pusat membeli-belah di serata dunia bertindak balas terhadap impak jangkitan COVID-19 dengan terpaksa mengurangkan jumlah jam operasi atau menutup sementara perniagaan mereka.\nSejak Mac 2020, jumlah jam operasi pusat beli-belah di seluruh dunia berkurangan sehingga 30 peratus berbanding dengan sebelum munculnya COVID-19. Kesan ini dilaporkan hampir sama di seluruh dunia.\nSebagai alternatif, kebanyakan operator sektor peruncitan, termasuk yang besar dan kecil, mula beralih kepada sistem penghantaran dari pintu ke pintu. Hal ini menjadikan sistem perniagaan berasaskan e-dagang mula aktif secara mendadak di seluruh dunia. E-dagang bukan sahaja memuncak di negara maju, malah turut beroperasi di negara membangun sejak wabak ini merebak.\nTernyata, dari segi lain pandemik ini menghasilkan satu trend ekonomi baharu dengan pembelian secara dalam talian tiba-tiba meningkat dua kali ganda berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya.\nLaporan media di serata dunia mendedahkan bahawa petani berskala kecil di hujung kampung turut menggunakan teknologi digital sebagai cara untuk memasarkan dan menyampaikan hasil pertanian mereka kepada pengguna. Itulah gambaran pada peringkat global. Bagaimanakah pula dengan situasi di Malaysia?\nDi Malaysia sendiri, ahli ekonomi dilaporkan meramalkan wabak ini akan mempengaruhi kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), aliran dagangan dan pelaburan, harga komoditi serta jumlah pelancong. Angka kadar pengangguran di Malaysia juga dilaporkan terus meningkat. Menurut laporan Theedgemarkets.com, pada Januari 2020 menyatakan bahawa kadar pengangguran menunjukkan peningkatan berterusan sehingga tahap 5.3 peratus berbanding dengan sebelumnya.\nBursa Malaysia pula menunjukkan kejatuhan teruk dalam tempoh 10 tahun kebelakangan apabila pelabur mula menjual pegangan masing-masing disebabkan jangkaan impak ekonomi akibat virus ini. Antara lain, ekonomi Malaysia begitu terkesan disebabkan oleh ekonomi China, iaitu antara rakan dagang terbesar negara yang terjejas secara langsung akibat pandemik ini. Sementara itu, Aberdeen Standard Investments meramalkan nilai ringgit juga menjadi semakin lemah akibat pandemik ini. Aberdeen Standard Investments ialah organisasi pengurusan aset bebas bertaraf dunia dengan pengalaman kepakaran selama lebih 30 tahun.\nTernyata, impak depresi ekonomi akibat pandemik COVID-19 bukannya telahan semata-mata kerana inilah realiti yang berlaku pada hari ini. Kesannya boleh menjangkau sehingga beberapa tahun lagi. Kita perlu mengakui telahan ini sememangnya benar supaya lebih bersedia untuk menghadapinya." "Bahasa Melayu Bergema di UNFCCC COP-26\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2212 Walaupun hanya tiga minit, rakyat Malaysia pastinya sangat berbangga apabila Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berucap dalam bahasa Melayu pada Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland.\nUcapannya itu membuka lembaran baharu dalam perkembangan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa dan wajar dilaksanakan oleh pemimpin lain juga. Dengan modal yang kecil untuk membayar khidmat terjemahan, negara sebenarnya memperoleh faedah yang amat besar. Demikian ulasan YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia, semasa mengikuti ucapan Menteri KASA di Persidangan Perubahan Iklim Bangsa-Bangsa Bersatu 2021.\nTahniah dan syabas kepada pemimpin yang mengangkat bahasa negara di forum antarabangsa, selaras dengan semangat mendukung maruah dan kedaulatan negara. Perihal pemimpin negara berucap dalam bahasa negara masing-masing telah lama diamalkan oleh pemimpin negara lain seperti Republik Rakyat China, Jerman, Rusia, Perancis, Indonesia dan yang lain.\u00a0\nMenurutnya lagi, selain soal imej negara, akan ada lonjakan lain daripada usaha mengangkat bahasa negara pada peringkat dunia, seperti pelancongan, perdagangan dan pendidikan.\nSebagai contoh, pengalaman saya sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu di negara China atas nama Kementerian Pendidikan Tinggi dengan Jabatan Pendidikan Malaysia di Beijing telah berjaya mengembangkan bahasa Melayu di negara itu. Kini 15 buah universiti di China menawarkan program Ijazah Bahasa Melayu selama empat tahun dan program Diploma Bahasa Melayu selama tiga tahun dan jumlah itu akan bertambah secara berterusan.\nTambahnya lagi, DBP dalam Sasaran Kerja Utama sejak lebih 20 tahun lalu telah meletakkan sasaran menjadikan bahasa Melayu bahasa rasmi ASEAN dan bahasa di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Usaha itu belum tercapai kerana banyak bergantung pada keputusan dan pelaksanaan oleh kerajaan.\nDengan perkembangan kini, beliau positif bahawa bahasa Melayu dapat ditingkatkan pada peringkat antarabangsa. Menteri Luar Negara, YB Dato\u2019 Saifuddin Abdullah, dalam kunjungan ke DBP pada 6 Oktober 2021 telah mengisytiharkan Program Diplomasi Kebudayaan yang antara lain untuk menggerakkan bahasa, persuratan dan kebudayaan negara pada peringkat dunia melalui peranan kedutaan-kedutaan utama Malaysia di dunia, dengan kerjasama DBP.\n\u201cNegara kita tanggungjawab kita. Bahasa kita tanggungjawab kita,\u201d katanya lagi." "Masa Depan Generasi PKP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNegara kini memasuki Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dalam tahun kedua wabak COVID-19 mencengkam dunia. Bukan sahaja di Malaysia, malah kebanyakan negara di seluruh dunia berdepan dengan nasib serupa. Ada yang menanganinya dengan lebih baik kerana mempunyai sumber dan teknologi terkini, namun terdapat juga negara \u00a0yang semakin tersungkur kerana tidak mampu menanganinya dengan baik.\nBagi penduduk dunia, termasuklah rakyat Malaysia, kebimbangan sumber ekonomi menjadi antara perkara yang paling lantang dibangkitkan. Tubuh badan dihambat penyakit, poket pula semakin sepi tanpa isi. Golongan yang bekerja mahupun berniaga mengadu tentang gaji dipotong, hilang pekerjaan dan tiada sumber pendapatan untuk kelangsungan hidup, sehingga rata-ratanya mengharapkan bantuan daripada kerajaan mahupun daripada golongan berkemampuan. Bagi graduan baharu, sukar bagi mereka untuk mencari kerja walaupun melalui proses temu duga secara dalam talian sedikit sebanyak agak memudahkan mereka.\nMurid sekolah dan pelajar universiti pula menyatakan kebimbangan mereka tentang kualiti pembelajaran melalui komputer dan peranti digital. \u00a0Selain berdepan dengan kekangan peralatan dan kemudahan Internet, terdapat dalam kalangan mereka yang tidak dapat mengikuti latihan amali sama ada di makmal, bengkel kerja, pejabat mahupun sektor industri.\nPelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2020 menjadi kumpulan pertama yang didapati lewat mengambil peperiksaan, lewat mendapat keputusan dan pastinya lewat mendapat penempatan di menara gading. Pelajar SPM tahun 2021 dan beberapa tahun yang akan datang juga mungkin berdepan dengan nasib serupa apabila jangkaan pemulihan penuh (dalam kebiasaan baharu) di negara ini sekitar tahun 2023 atau 2024, dengan perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan pemulihan global mengambil tujuh tahun lagi (2028) berdasarkan kadar vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok.\nApakah nasib yang bakal berlaku terhadap anak-anak kecil? Ada yang lahir ke dunia terus dalam era PKP. Sehingga kini, interaksi sosial hanya berlaku bersama-sama dengan ahli keluarga. Sejak dari tadika hingga sekolah menengah, sistem sosial dan perhubungan dengan rakan seusia terjejas, termasuklah interaksi formal dengan orang dewasa seperti guru dan kakitangan sekolah. Mereka menghabiskan masa selama berbulan-bulan di rumah dan tidak boleh ke mana-mana.\nWabak COVID-19 dan hidup di bawah perintah darurat banyak mengajar kita tentang erti kehidupan. Ramai yang hidup selesa dalam kepompong sendiri \u00a0terpaksa menghadapi rintangan dan mahu atau tidak, kita terpaksa belajar untuk berdikari demi kelangsungan diri dan keluarga.\nZaman mengharapkan bantuan daripada kerajaan atau pihak berwajib datang membantu sudah berlalu. Ibu bapa selaku tonggak utama yang membentuk jati diri anak-anak perlu mempunyai perancangan sendiri untuk masa depan mereka mengikut kesesuaian dan keperluan semasa. Selain itu, hal yang berkaitan dengan kewangan, sistem sosial, moral, disiplin dan teras agama generasi berikutnya yang perlu diperkukuh supaya mereka mampu berdikari kelak, seperti \u00a0ibu bapa mereka yang kini belajar hidup di celah-celah hambatan wabak penyakit.\nAkan ada suara sumbang yang mungkin bertanya, \u201capakah perancangan kerajaan dan pihak berwajib\u201d? Perlu diingatkan bahawa kerajaan berfungsi sebagai pembuat dan pelaksana dasar. Umpama dibina ratusan masjid, tetapi jika penduduk tidak menggunakannya, maka usaha itu hanyalah sia-sia belaka. \nTanggungjawab ibu bapa, ahli keluarga dan komuniti setempat dalam usaha melindungi dan merancang masa depan generasi PKP ini terlalu besar. Adakah mereka ingin diajar supaya duduk mengharapkan bantuan orang lain, atau berusaha untuk kejayaan diri sendiri? Adakah mereka mahu dididik menjadi \u201cpak turut\u201d atau ditanam keberanian untuk berusaha dan berdikari?\nSesetengah masyarakat tidak sedar antara kelebihan wabak ini dan juga PKP dapat dianggap sebagai rezeki tambahan kerana dapat meluangkan masa bersama-sama keluarga, selain memberi peluang ibu bapa lebih mengenali kelebihan dan kelemahan anak-anak mereka. Jika suatu ketika dahulu kita cuma mengharapkan guru, sekolah dan pengasuh melentur buluh, sekarang merupakan masa untuk ibu bapa sendiri mengendong rebungnya. Kenalilah anak-anak dan apabila sudah mengetahui akan potensi mereka kelak, maka dari itulah kita merancang perjalanan mereka.\nAmbillah iktibar daripada generasi pascamerdeka yang bergelumang dalam kemiskinan dan kehancuran yang ditinggalkan penjajah. Mereka mampu berdikari, memajukan diri, serta tidak gentar dengan kesukaran hidup bagi memastikan masa depan anak-anak terbela. Itulah yang perlu ditonjolkan oleh generasi sekarang dan yang seterusnya. Walaupun berdepan dengan apa-apa jua badai yang menimpa, mereka perlu memiliki ketahanan dan jati diri untuk terus melangkah ke hadapan." "LHDNM: Perkhidmatan Telefon di Cawangan Mula Beroperasi pada 1 Ogos\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerkhidmatan telefon di semua cawangan pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) akan kembali beroperasi mulai 01 Ogos 2021.\nKini, pelanggan boleh membuat semakan nombor telefon cawangan LHDNM pada portal rasmi LHDNM:\nSelain menghubungi talian am, pelanggan\u00c2\u00a0juga boleh mengajukan pertanyaan serta maklum balas kepada LHDNM melalui:" "COVID-19: Ekonomi Sektor Pelancongan Semakin Tenat?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCOVID-19 merupakan satu wabak yang dikenali sebagai koronavirus, yang sedang melanda seluruh dunia, termasuklah Malaysia. Kes COVID-19 yang pertama di Malaysia dilaporkan melibatkan pelancong dari negara China yang masuk ke Johor melalui Singapura. Pandemik ini bermula di Malaysia apabila kes jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan pada tahun 2019. Oleh sebab penularan wabak yang sangat bahaya hingga membabitkan kematian orang ramai, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara. PKP dilaksanakan secara berperingkat mengikut jumlah kes di sesebuah daerah. \u00c2\u00a0Persoalannya, apakah hala tuju ekonomi pelancongan Malaysia dalam era pandemik ini?\nKemunculan virus COVID-19 ini menjejaskan banyak sektor sosioekonomi sesebuah negara kerana memudaratkan tahap kesihatan rakyatnya. Akibat daripada pandemik ini, sektor pelancongan turut terpalit mendapatkan nasib malang apabila boleh melumpuhkan sektor ini di seluruh dunia. Apabila keadaan semakin teruk dan penularan yang semakin meluas, kerajaan mengambil langkah untuk menutup sempadan negara dengan tidak membenarkan pelancong dari luar negara untuk masuk. Langkah ini sangat efektif untuk membendung penularan daripada terus merebak, namun hal ini boleh merencatkan ekonomi negara sendiri kerana sektor pelancongan merupakan antara sektor yang menjadi penyumbang terbesar terhadap ekonomi negara.\n\nRentetan daripada itu, Kementerian Pelancongan terpaksa membatalkan kempen Tahun Melawat Malaysia. Dengan pembatalan kempen ini, secara tidak langsung juga memberikan kesan besar kepada sektor lain, seperti pengangkutan, perhotelan, penginapan dan perniagaan. Banyak pengusaha hilang pekerjaan dan hilang punca pendapatan. Ada sebahagiannya masih bekerja, namun gaji dipotong ekoran untung yang tidak mampu menampung gaji penuh pekerja.\nDalam hal ini, banyak rakyat hidup dalam keadaan susah disebabkan oleh kos sara hidup yang semakin meningkat naik walaupun ketika musim pandemik. Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, melihat kepada situasi pandemik yang membimbangkan ini berkemungkinan lebih daripada 100 ribu pekerja sektor akan hilang pekerjaan dan banyak syarikat terpaksa tutup operasi.\nBagi meneruskan operasi dalam kebiasaan baharu tatkala pandemik berlaku, pihak hotel mengambil inisiatif untuk membuat promosi, tetapi orang ramai lebih memilih untuk mementingkan keselamatan dan kesihatan diri kerana wabak ini dianggap sangat bahaya dan berisiko. Oleh hal yang demikian, langkah yang diambil oleh pihak hotel untuk melaksanakan promosi tidak dapat menampung kerugian yang dialami. Keadaan ini memaksa banyak hotel dan agensi pelancongan untuk mengambil keputusan untuk tutup operasi perniagaan.\n\nPersatuan Hotel Malaysia (MHA) melaporkan bahawa terdapat lebih daripada 90 buah hotel terpaksa ditutup secara kekal dan sementara, sejak pihak kerajaan melaksanakan PKP di seluruh negara. Tindakan ini dilihat menjejaskan lebih daripada 7000 orang pekerja dan lebih daripada 12 000 orang pekerja dibuang kerja dan dipotong gaji.\nSektor penerbangan menerima nasib yang sama, iaitu tidak mampu bertahan semasa pandemik COVID-19 ini apabila tiada kemasukan pelancong ke dalam negara. Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), syarikat penerbangan global dijangka akan menanggung kerugian sehingga bernilai A.S.$84.3 bilion pada tahun 2020. Kerugian ini jelas memberikan kesan yang sangat buruk pada sejarah penerbangan.\nBerdasarkan kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam Dewan Rakyat pada 21 Julai 2020, industri penerbangan dikatakan mengalami kerugian bernilai RM13 bilion, termasuklah kerugian yang perlu ditanggung oleh tiga syarikat penerbangan tempatan, iaitu Malaysia Airlines Bhd., Air Asia Group Bhd. dan Malindo Airways Sdn. Bhd.\nAkibat ketiadaan pelancong ke dalam negara, mereka terpaksa mencari langkah untuk kekal dalam industri. Antaranya termasuklah membuang pekerja dan membuat potongan gaji kepada semua pekerja. Pada Oktober 2020, ketiga-tiga syarikat penerbangan di negara ini mengumumkan pemberhentian pekerja kepada beberapa pekerja mereka. Malindo Airlines mengurangkan pekerja kepada 1000 orang pada akhir November 2020.\nSelain itu, syarikat Malindo yang mengendalikan lebih daripada 50 buah pesawat pada tahun 2019 juga terpaksa mengurangkan kepada lima buah B737 dan enam buah ATR 72-600 sahaja. Syarikat penerbangan tambang murah Air Asia mengambil keputusan untuk memberhentikan 10 peratus pekerja demi kelangsungan industri.\n\nMenurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, syarikat ini tidak mempunyai pilihan lain selain daripada untuk menutup operasinya, tetapi disebabkan oleh perbincangan yang dilakukan, sistem operasi syarikat penerbangan itu telah distrukturkan semula dengan membuat potongan gaji pekerja sebanyak 10 peratus mulai Oktober 2020.\nJelas, pandemik ini memberikan impak besar hingga merencatkan ekonomi negara, terutamanya ekonomi pelancongan apabila pelaksanaan PKP dilakukan pada kebanyakan sempadan negara dan negeri yang menyukarkan pelancong dan rakyat untuk melancong, sekali gus menyukarkan perjalanan ekonomi negara. Maka, apakah langkah perlu dilakukan untuk memulihkan situasi kemelut ini?\nYang pertamanya, semua pihak daripada kerajaan, pihak industri hinggalah masyarakat umum perlu memainkan peranan masing-masing. Kerajaan telah mengambil langkah drastik dengan menetapkan prosedur operasi standard (SOP), dan SOP yang ditetapkan ini berkesan dapat mengurangkan 80 peratus kes jangkitan COVID-19. Selain itu, kerajaan juga memperkenalkan Skim Pembiayaan PENJANA melalui Pakej Rangsangan Ekonomi, iaitu sebanyak RM1 bilion untuk digunakan sebagai inisiatif transformasi supaya semua pihak yang terlibat dalam sektor pelancongan ini dapat terus berdaya saing dan bertahan dalam industri.\nAntara inisiatif kerajaan kepada sektor pelancongan ketika COVID-19\nYang kedua, pihak industri boleh membuat penawaran pakej pada pelancong domestik. Dalam hal ini, terdapat banyak hotel mula mengambil langkah ini untuk membuat promosi kepada masyarakat, seperti pakej lima bintang dengan harga mampu milik. Langkah ini dilihat mampu menampung kerugian yang dialami semasa musim pandemik.\nSelain itu, rakyat juga memainkan peranan dengan mematuhi SOP yang telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan. SOP ini bertujuan untuk mengelakkan wabak daripada terus berjangkit dan menular dalam kalangan rakyat Malaysia. Masyarakat diseru agar mengambil saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, iaitu mengelakkan keberadaan di dalam perhimpunan besar selama enam bulan. Masyarakat harus cakna terhadap hal di sekeliling supaya tidak berada dalam kelompok yang ramai yang dilihat boleh memberikan kesan peningkatan kes jangkitan COVID-19.\nSekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam mengekang penularan wabak COVID-19 ini, nescaya negara ini dapat mencapai kes jangkitan sifar satu hari kelak, dan sektor pelancongan dapat kembali seperti sedia kala. Sempadan negara dapat dibuka secara berperingkat untuk membenarkan pelancong masuk ke dalam Malaysia. Namun begitu, langkah berjaga-jaga perlu diambil untuk memastikan tiada gelombang wabak yang baharu.\nPada 24 Februari 2021, bermulanya Program Imunisasi Kebangsaan dengan perasmian penerimaan vaksin oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku rakyat Malaysia yang pertama yang menerima vaksin jenis Pfizer. Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka di seluruh negara untuk membolehkan rakyat Malaysia menerima vaksin.\n\nSetakat ini, terdapat tiga jenis vaksin diterima oleh Malaysia, iaitu Pfizer, Astrazeneca dan Sinovac. Kesemua vaksin ini bertujuan untuk mengurangkan risiko jangkitan virus COVID-19 pada badan manusia. Oleh hal yang demikian, sekiranya ramai rakyat mengambil langkah bijak dengan menerima vaksin COVID-19 ini, sudah pasti penularan wabak ini dapat dikurangkan dan rakyat dapat hidup seperti sedia kala, iaitu keluar merentas antara negeri dengan negara. Semakin ramai rakyat yang mengambil vaksin, maka sektor pelancongan dapat diselamatkan dan kembali menjadi penyumbang kepada ekonomi negara." "SOP Lebih Ketat Susulan Pembukaan Sektor PKS Mikro\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Ada harapan besar untuk sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Mikro dibuka lebih awal selepas kerajaan menerima cadangan prosedur operasi standard (SOP) yang diperketatkan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).\nPerkara itu disahkan oleh Datuk Seri Dr.\u00a0Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri MEDAC,\u00a0dengan\u00a0menyerahkan dokumen cadangan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Menteri dan Menteri Pertahanan dalam satu perjumpaan di Parlimen.\nMenurut beliau, walaupun MEDAC menyokong sepenuhnya pembukaan lebih banyak aktiviti ekonomi, namun SOP yang jelas sangat penting pada operasi perniagaan dalam kebiasaan baharu ini.\n\u201cSOP diperketatkan yang disediakan oleh MEDAC sebenarnya merupakan usaha bersama antara kementerian dengan ahli industri yang\u00a0mencadangkan input masing-masing. Mereka sangat proaktif dan mampu memberikan\u00a0kerjasama yang baik,\u201d katanya dalam satu kenyataan.\nBanyak penggiat industri menyatakan kesanggupan untuk beroperasi di bawah SOP lebih ketat, berdasarkan perbincangan kementerian itu.\nAntara cadangan yang dibentangkan, termasuklah pemilik perniagaan dan pekerja perlu melengkapkan dua dos suntikan vaksinasi COVID-19 dan menjalankan ujian saringan secara mingguan,\u00a0serta segera menutup premis bagi tujuan sanitasi sekiranya terdapat kes jangkitan\u00a0dikesan.\nCadangan SOP itu juga menumpukan kepada enam aktiviti ekonomi di bawah kategori perniagaan yang ditutup awal, namun dibuka paling akhir (First to Close Last to Open, FCLO) seperti makanan dan minuman, pusat beli-belah, kedai jam tangan, rawatan kuku kaki dan tangan atau perkhidmatan dandanan, salun kecantikan dan rambut.\nHampir separuh daripada aktiviti perniagaan yang dikenal pasti itu dimiliki oleh usahawan wanita, yang\u00a0merupakan antara golongan paling terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di seluruh Malaysia.\nSOP itu merangkumi garis panduan yang menyeluruh,\u00a0bermula daripada aspek pengendalian pelanggan, pengurusan staf, waktu beroperasi sehingga pengurusan penyelenggaraan premis bagi memastikan semuanya patuh terhadap keperluan keselamatan pascapandemik\u00a0COVID-19." "Pembentangan Belanjawan 2022 Kesinambungan PPN\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Belanjawan 2022 yang bakal menyaksikan perincian kesinambungan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan langkah pemulihan lain yang dibentangkan pada 29 Oktober 2021\u00a0lalu.\nPerdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Belanjawan 2022 lebih menumpukan kepada tiga fokus utama,\u00a0iaitu agenda memacu pemulihan ekonomi, membina semula daya ketahanan negara dan pemangkin pembaharuan.\n\u201cTumpuan khusus diberikan kepada usaha untuk memulihkan sektor terjejas seperti pelancongan, meningkatkan keupayaan sistem kesihatan awam,\u00a0serta skop perlindungan sosial dan merancakkan ekonomi digital dalam usaha mengukuhkan daya saing negara dalam menghadapi kebiasaan baharu\u00a0global,\u201d katanya ketika menyampaikan pembentangan PPN dalam sidang khas Parlimen.\n\nSementara itu, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan buat pertama kalinya akan menerbitkan kenyataan Pra-Bajet termasuk dokumen konsultasi rakyat mengenai tumpuan dasar pada bulan Ogos nanti.\nMenurut Muhyiddin, pembentangan ini selaras dengan usaha meningkatkan ketelusan proses serta penglibatan rakyat dalam penyediaan belanjawan tahunan.\nSelain itu, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pula dijangka dibentangkan di Parlimen pada 20 September depan.\nSebagai elemen utama penyampaian maklumat mengenai pelaksanaan PPN kepada masyarakat awam, sebuah portal khas telah dibangunkan yang menjadi pusat rujukan sehenti, memaparkan indikator\u00a0terkini dan maklumat berkaitan\u00a0dengan\u00a0PPN, manfaat dan juga prosedur operasi standard (SOP) terkini.\nMenerusi usaha berterusan untuk menggerakkan proses pemulihan dan imunisasi yang sedang berjalan lancar, Muhyiddin berkata, kebanyakan negeri dijangka dapat beralih ke fasa keempat PPN seawal bulan Oktober nanti.\n\u201cSaya juga ingin jelaskan, kerajaan sudah memutuskan di Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), bagi negeri yang sudah berada di fasa kedua, hal ini tidak akan kembali ke fasa pertama.\n\u201cBegitu juga dengan negeri yang beralih ke fasa ketiga tidak akan patah balik ke fasa kedua. Hal ini dikatakan demikian kerana pendekatan PPN menekankan dengan izin, exit strategy and no turning back,\u201d tambah Muhyiddin." "Ericsson Menang Kontrak Kendali 5G di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAgak mengejutkan apabila keputusan kerajaan Malaysia memilih Ericsson Sweden dalam pemberian kontrak bernilai RM11 bilion berbanding dengan pesaing China, Huawei Technologies untuk merancang dan membina rangkaian telekomunikasi 5G di negara ini. Sebelum ini, Huawei merupakan syarikat yang sebut-sebut akan mendapat kontrak tersebut.\n\nMalaysia dijangka menyediakan rangkaian dan ekosistem teknologi generasi kelima atau 5G pada akhir tahun ini yang merangkumi 80 peratus penduduk pada tahun 2024. Sebagai permulaan, perkhidmatan tersebut akan dilancarkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta di Pusat Multimedia Cyberjaya pada tahun 2021.\nThe Edge melaporkan pada bulan April lalu bahawa Digital Nasional \u2013 entiti Kementerian Kewangan yang diamanahkan untuk memiliki dan mengendalikan rangkaian 5G telah mengundang lapan vendor untuk mengambil bahagian dalam tender, iaitu Ericsson, Huawei, ZTE, Cisco, NEC, Nokia, Samsung dan FiberHome.\nPada Oktober 2019, Huawei dibawa sebagai pembekal perkakasan 5G untuk Maxis, penyedia mudah alih terbesar di Malaysia oleh pelanggan. Di bawah perjanjian itu, syarikat China akan menyediakan peralatan, perkhidmatan dan kepakaran radio 5G untuk rangkaian Maxis, menurut laporan daripada asia.nikkei.com.\nDalam perjanjian tersebut menyatakan bahawa peruntukan spektrum 5G diberikan kepada syarikat telekomunikasi individu dan pilihan pembekal perkakasan bergantung pada pemegang spektrum masing-masing. \nWalau bagaimanapun, Tan Sri Dato\u2019 Haji Muhyiddin Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia mengumumkan negara telah beralih daripada kaedah peruntukan tradisional dengan menubuhkan Digital Nasional Berhad (DNB) untuk memiliki aset dan spektrum 5G.\n\u00a0\nTidak dapat dipastikan bahawa keputusan tersebut sebagai mengimbangi persaingan kuasa antara Barat dengan China atau disifatkan sebagai tindakan daripada China yang mencabar kedaulatan negara baru-baru ini dengan memasuki ruang udara Sabah beberapa bulan lepas.\u00a0Sekiranya keputusan yang dibuat itu berdasarkan rasional dan pertimbangan ekonomi, maka hal tersebut berkemungkinan mempunyai kaitan dengan isu kewangan.\nMenurut kenyataan DNB, Ericsson akan menguruskan pembiayaan bekalan, penghantaran dan pengurusan keseluruhan rangkaian 5G. Keadaan ini tentulah merupakan sesuatu yang diingini kerajaan kerana DNB masih tidak menerangkan sama ada projek tersebut akan dibiayai oleh kerajaan atau pihak swasta.\nJika Ericssson dapat memberikan komitmen, hal \u00a0ini bermakna DNB telah menjimatkan satu pertiga daripada kos belanjawan DNB yang berjumlah RM11 bilion yang dijangka dapat mewujudkan 100 000 peluang pekerjaan kepada orang ramai.\nBaru-baru ini kerajaan Ethiopia memutuskan untuk memberikan lesen mengendalikan perkhidmatan telefon pintar berjumlah A.S.$850 juta kepada gabungan konsortium dukungan Amerika Syarikat (AS), iaitu Korporat Pembangunan Kewangan Antarabangsa dan dana pelaburan kedaulatan United Kingdom atau kumpulan CDK yang diketahui oleh Syarikat Vodafone Britain, Safarickom Kenya serta syarikat Jepun Sumitomo. Konsortium syarikat tersebut telah mendapat lesen pengendalian selama 15 tahun di negara kedua terbesar di Afrika.\nDalam kenyataan yang dibuat oleh\u00a0Abiy Ahmed, Perdana Menteri Ethiopia, konsortium tersebut merancang untuk memperoleh keuntungan lebih daripada A.S.$8 bilion di Ethiopia pada masa akan datang. \nKetika China sedang mengembangkan sayap dan pengaruh pelaburannya di benua Afrika, keputusan untuk pasaran telekom secara terbuka menyaksikan kegagalan syarikat China dalam usaha memperoleh lesen telefon bimbit kepada sebuah konsortium sokongan AS.\nNamun begitu, rantau Afrika Timur masih menjadi pasaran bagi syarikat dari China.\u00a0Persaingan pengaruh dan hegemoni dalam perniagaan tentunya akan terus berlanjutan, terutamanya persaingan perniagaan 5G. Oleh hal yang demikian, Malaysia tidak seharusnya \u201cterjebak\u201d dalam permainan ini kerana sebagai sebuah negara kecil impaknya tentulah amat tinggi.\nDNB berkata perkhidmatan pertamanya akan bermula pada akhir tahun di zon berteknologi tinggi, seperti Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya. Perkhidmatan seterusnya akan dilancarkan di lima buah bandar utama dan daerah menjelang tahun 2022 dengan 80 peratus penduduk bakal menikmati perkhidmatan tersebut menjelang tahun 2024.\nPada Februari lepas, Dato\u2019 Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia,\u00a0 telah mengadakan kolaborasi berhubung dengan keselamatan siber nasional dalam makmal ujian Keselamatan Siber 5G pertama di Asia bersama Huaweil Technologies (M) Sdn. Bhd., Celcom Aixata Bhd. dan CyberSecurity Malaysia (CMS) yang berlangsung secara maya.\nNamun begitu, rancangan tersebut terhenti pada Jun lalu apabila kementerian mengemukakan spektrum 700 MHz kepada lima buah operator, lantas menjadikan hal tersebut sebagai suatu keputusan yang mengejutkan.\nAdakah keputusan tersebut dilakukan atas faktor geopoltik atau pakej yang ditawarkan Ericsson lebih lumayan daripada Huawei? Hal ini merupakan suatu pertimbangan perniagaan yang tentunya tidak dapat ditolak oleh Malaysia, terutamanya dalam situasi ekonomi yang sedang meruncing.\nPenulis ialah Pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (UNISEL)." "Program CSR MOF-LHDNM Sumbang 1000 Bakul Makanan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur, 31 Julai 2021 \u2013 Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) bersama-sama Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) meneruskan usaha kesinambungan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sebelum ini.\nProgram Penyerahan Sumbangan 1000 Bakul Makanan dilaksanakan, khususnya kepada golongan yang terjejas disebabkan oleh pandemik COVID-19.\nProgram yang berlangsung di Masjid Al-Qurtubi, Taman Sri Segambut, Kuala Lumpur ini disempurnakan oleh Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia dan turut dihadiri oleh Dato\u2019 Sri Dr. Sabin Samitah, Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM.\n\u201cKerjasama ini sangat dialu-alukan dalam menterjemahkan usaha kerajaan untuk membantu dan meringankan beban rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19,\u201c kata Tengku Datuk Seri Utama Zafrul dalam kenyataan hari ini.\nMenerusi sumbang Program MOF-CSR MOF-LHDN Prihatin itu, penerima sumbangan melibatkan ahli kariah empat masjid di kawasan Segambut, Kuala Lumpur, iaitu Masjid Al-Qurtubi, Masjid Imam Al-Ghazali, Masjid Al-Ubudiah dan Masjid Al-Firdaus.\n\u201cDengan adanya program sebegini, kebajikan mereka akan lebih terjamin dan terbela apabila menerima bantuan bekalan makanan dan keperluan asas yang mencukupi. Penerima sumbangan ini juga terdiri daripada kalangan rakyat pelbagai kaum yang diuruskan oleh empat buah masjid terpilih tersebut,\u201c tambahnya lagi.\nBagi Dato\u2019 Sri Dr. Sabin Samitah pula, LHDNM sentiasa memberikan sokongan terhadap penganjuran setiap program yang melibatkan kesejahteraan rakyat. Melalui program seumpama ini bukan sahaja mewujudkan hubungan antara LHDNM\u00a0dengan rakyat yang lebih erat, malah sekali gus meningkatkan kesedaran bahawa\u00a0peri pentingnya sumbangan cukai pendapatan untuk manfaat negara.\nBeliau berharap agar inisiatif dan kerjasama sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan supaya lebih ramai rakyat dapat dibantu, khususnya golongan sasar yang benar-benar memerlukan bantuan." "Nokia\u00a0Aktif Beraksi dengan Lantikan Pengarah Urusan Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Berkuat kuasa pada 1 Ogos 2021, Datuk Mohd. Rauf Nasir kini memainkan peranan penting sebagai Pengarah Urusan Nokia di Malaysia, Maldives dan Sri Lanka.\nPangkalan operasi dan pengawasan perniagaan Nokia bagi ketiga-tiga negara ini dipusatkan di Kuala Lumpur.\n\u201cSebagai peneraju teknologi global, Nokia bersedia menjadi penyumbang kepada kemajuan teknologi nasional, seperti 5G dengan pesat,\u201d kata Datuk Rauf yang berpengalaman lebih daripada 30 tahun dalam sektor telekomunikasi dan teknologi maklumat.\nSebelum bergabung dengan Nokia, Datuk Rauf merupakan Presiden Negara Motorola Solutions Malaysia, yang membantu mengembangkan perniagaan komunikasi penting syarikat dalam bidang keselamatan awam, minyak dan gas, pengangkutan, dan perusahaan.\nSelain itu, pelibatannya dalam International Business Machines Corporation (IBM) juga sangat aktif sebagai Pengurus Besar Sektor Komunikasi, dengan memberikan fokus kepada misi segmen utama telekomunikasi, utiliti dan media.\nDengan pengalaman yang sangat luas, Nokia memberikan tanggungjawab kepada Datuk Rauf untuk memimpin penyampaian inovasi dan penyelesaian utama Nokia di rantau ini daripada portfolio unik syarikat, termasuklah rangkaian tanpa wayar peribadi berkelajuan tinggi dan 5G.\n\u201cMalaysia merupakan pasaran utama untuk Nokia dan berharap dapat terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan industri di negara ini untuk memajukan transformasi digital secara holistik,\u201c katanya ketika mengulas mengenai perlantikannnya itu.\n\u201cSaya sangat berharap dapat bekerjasama dengan pengendali dan pelanggan perusahaan.\n\u201cTidak ketinggalan, peri pentingnya menjalinkan kerjasama dengan kerajaan. Hal ini adalah untuk memperkuat ekosistem tempatan, khususnya dalam memperkasakan masyarakat dan ekonomi Malaysia seiring dengan peralihan Revolusi Perindustrian 4.0,\u201c ulasnya lagi ketika mengakhiri sidang media semalam." "Asas Ekonomi Negara Masih Teguh\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u2013 Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberikan\u00a0jaminan bahawa asas ekonomi Malaysia masih teguh walaupun berdepan\u00a0dengan\u00a0cabaran penularan COVID-19 yang memuncak ketika ini.\nJelas Tengku Zafrul, prospek pertumbuhan Malaysia pada jangka masa sederhana masih cerah, pasaran\u00a0modal masih utuh serta sektor kewangan negara miliki kecairan dan modal penampan yang mendalam.\n\u201cDari segi sejarah, tahap pelaburan langsung asing (FDI) dan persekitaran perniagaan Malaysia kekal stabil di sebalik landskap politik semasa. Sebagai contoh, peralihan kerajaan dilakukan secara aman dan teratur pada tahun 2018, manakala di sebalik polemik politik pada tahun 2020, Belanjawan 2021 tetap diluluskan di Parlimen.\n\u201cSelain itu, pelabur asing juga mempunyai keyakinan dan kepercayaan pada kekuatan institusi negara\u00a0apabila FDI menunjukkan trend peningkatan. Pada suku pertama tahun 2021, negara mencatat aliran masuk pelaburan asing sebanyak RM9.1 bilion, peningkatan sebanyak 33.8 peratus dilihat dari tahun ke tahun,\u201d katanya dalam Laporan LAKSANA Ke-63.\nPada bulan lalu, agensi penarafan antarabangsa,\u00a0seperti S&P dan Moody\u2019s,\u00a0masing-masing memberikan penarafan A- dan A3 kepada Malaysia. Minggu lepas, Fitch turut mengekalkan penarafan Malaysia di tahap BBB+.\n\u201cPenarafan sebegini bukanlah calang-calang diberikan, jauh sekali kepada sesuatu negara yang dianggap \u2018gagal\u2019,\u201d katanya lagi.\nMalaysia terus menerima pelbagai pelaburan asing, berjumlah hampir RM60 bilion, dari syarikat antarabangsa yang terkemuka baru-baru ini,\u00a0termasuklah\u00a0pelaburan dari Microsoft sejumlah A.S.$1 bilion (sekitar RM4.2 bilion); Risen Energy Co.\u00a0Ltd.\u00a0(RM42.2 bilion); GIC Pte.\u00a0Ltd.\u00a0dalam Sunway Healthcare Holdings\u00a0(RM750 juta); AT&S (RM8.6 bilion) dan SK Nexilis dari Korea Selatan\u00a0(RM4.2 bilion).\nPada masa yang sama, jumlah perdagangan Malaysia telah melepasi RM1 trilion dalam tempoh enam bulan, tempoh tersingkat pernah dicatatkan bagi mencapai tanda aras tersebut.\nBagi separuh pertama\u00a0tahun\u00a02021, jumlah perdagangan bernilai RM1.056 trilion, berkembang 26 peratus berbanding\u00a0dengan\u00a0tempoh yang sama tahun lepas.\nEksport pula meningkat 30.2 peratus kepada RM585.56 bilion dan import meningkat 21.1 peratus kepada RM470.53 bilion. Hal ini merupakan nilai separuh tahun yang tertinggi direkodkan bagi perdagangan, eksport dan import. Lebihan dagangan juga melonjak 87.7 peratus kepada RM115.04 bilion." "DIO: Saluran Tunggal Pelaburan Digital di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menzahirkan keyakinan bahawa Pejabat Pelaburan Digital (DIO) mampu untuk menyelaraskan proses permohonan pelaburan digital ke dalam negara,\u00a0sekali gus menjadi saluran tunggal bagi tujuan berkenaan.\nMenerusi penambahbaikan itu, pelabur tidak perlu berurusan dengan pelbagai saluran mahupun agensi promosi pelaburan (IPA) yang berlainan untuk memastikan pelaburan mereka ke dalam negara terjamin.\n\u201cKerajaan memberikan\u00a0tanggungjawab kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk memimpin DIO memandangkan kedua-duanya arif dalam garis panduan dasar dan komited untuk membimbing pelabur bagi mengembangkan pelaburan digital mereka yang berkualiti tinggi di rantau ini,\u201d jelas Mustapa.\nTerdahulu, Mustapa telah melancarkan portal Malaysia, Nadi Digital ASEAN (MHODA),\u00a0iaitu platform tunggal yang akan menarik dan memudahkan pelaburan digital ke dalam Malaysia.\nPengumuman portal itu seiring Bulan Teknologi Malaysia 2021 yang dijangka meningkatkan acara maya selama sebulan untuk menghidupkan program dan promosi digital,\u00a0serta teknologi.\nSeketika itu, Portal MHODA dibangunkan di bawah DIO untuk menyelaras, menyemak dan menilai projek pelaburan digital di samping menyediakan kemudahan menyeluruh kepada para pelabur.\nKetua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman percaya bahawa ekosistem yang baik dalam sesebuah persekitaran operasi penting untuk menyuntik pelaburan berkualiti ke dalam Malaysia.\nKatanya, DIO bertindak untuk memperkukuh keupayaan dan tahap daya saing Malaysia sebagai sebuah lokasi perniagaan ideal untuk syarikat dan pemain industri dalam ruangan digital.\nSenada beliau, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri menekankan bahawa DIO menjadikan proses penghantaran permohonan pelabur lebih mudah menerusi titik kemasukan tunggal,\u00a0sekali gus memupuk peluang pelaburan digital yang berkualiti, seiring matlamat MyDIGITAL." "Pantun Membina Bangsa Malaysia yang Bermaruah dan Berintegriti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2212\u00a0Umumnya pantun merupakan wahana pernyataan emosi serta perasaan seseorang terhadap seseorang yang lain seperti rasa cinta, kasih sayang, dendam, marah, hati budi, harapan yang kecewa dan sebagainya. Kekuatan luar biasa pantun boleh merangsang perasaan dan emosi seseorang.\nPantun juga boleh dipelbagaikan dan dipopularkan. Yang penting, pantun sebagai medium komunikasi yang perlu diangkat darjat dan martabatnya yang bukannya terhad dalam urusan peminangan dan nikah kahwin sahaja. Yang lebih signifikan, pantun mengandungi mutiara nasihat dan pengajaran, peringatan agama, tunjuk ajar, perilaku dan panduan hidup yang berguna. Secara langsung, memperagakan daya akal budi manusia Melayu yang sangat tinggi dan berharga yang harus dipertahankan.\nMenurut YBhg. Profesor Dato\u2019 Dr. Anis Yusal Yusoff, iaitu Mantan Ketua Pengarah Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara, yang juga Felo Penyelidik Utama, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM), pelbagai kaedah digunakan dalam usaha untuk membudayakan integriti dalam kalangan rakyat Malaysia. Katanya lagi, ada yang belajar daripada hasil melihat sesuatu berbanding dengan mendengar. Hal tersebut memerlukan kaedah yang berbeza. Sebagai contoh, ada yang belajar sambil mendengar lagu, belajar secara experiential learning dan kaedah lain.\nHari ini kita memilih pantun sebagai medium untuk mendidik masyarakat. Bukan setakat mendidik masyarakat sahaja, malah kita berharap pantun menjadi medium untuk membina bangsa Malaysia yang bermaruah dan berintegriti. Mengapa tidak pantun digunakan dalam perbahasan oleh wakil-wakil rakyat kita di Parlimen? Hal ini bukan perkara mustahil. Yang penting, kita harus yakin bahawa pantun ialah puisi yang boleh digunakan dalam komunikasi bagi menyampaikan hasrat dan maksud dalam bahasa ringkas tetapi penuh bermakna. Pantun merupakan warisan budaya yang wajib kita pertahankan.\nBeliau turut berpandangan bahawa pantun merupakan satu cara untuk masyarakat berbahasa. Katanya lagi, pada zaman dahulu pantun ini berbentuk lisan, justeru tiada nama pencipta dan tarikh ciptaannya. Pantun bukanlah dikatakan pantun jika tidak dilafazkan untuk menyampaikan sesuatu seperti emosi, kiasan, pesanan dan pengajaran. Maka pantun harus hidup kerana rangkap pantun direka dengan spontan.\nTidak kira sama ada tujuan pantun itu untuk mendidik, menyindir atau memuji, kualiti pantun orang dahulu sangat tinggi. Pembayangnya juga mempunyai makna yang mendalam dan mengandungi fakta yang jelas serta bukan setakat kena pada irama dan bunyi sahaja. Begitulah hebat dan halusnya laras bahasa orang Melayu dahulu.\nDemikianlah ucaptama menarik yang berjudul \u201cMemperkasakan Pantun sebagai Medium untuk Membina Bangsa Malaysia yang Bermaruah dan Berintegriti\u201d oleh YBhg. Profesor Dato\u2019 Dr. Anis Yusal Yusoff di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur, pada hari ini. Beliau turut merasmikan pelancaran Buku Antologi Pantun-Teguh Integriti Kukuh Pertiwi, terbitan pertama Pertubuhan Gagasan Minda Merdeka (GMM).\nYang turut hadir ialah Puan Norhesni Ismail, Pengerusi Pertubuhan Gagasan Minda Merdeka; Encik Muhammad Sa\u2019edi Abdul Maad, Penasihat Kehormat, Pertubuhan Gagasan Minda Merdeka; YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, yang juga Pengarah ATMA, UKM; serta YBhg. Dato\u2019 Haji Chuari Selamat, Penasihat Projek Buku Antologi Pantun." "Perusahaan Ternakan Lembu Desa Berkembang ke Seluruh Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah peribahasa yang sinonim dengan kejayaan seorang pengusaha ternakan lembu dan kambing, Mohd. Subhi Mohd. Musuri dari sebuah desa yang berhasil mengembangkan perniagaannya sehingga ke pasaran seluruh negara.\nHanya bermodalkan RM50\u00a0000 untuk menternak 10 ekor lembu dan kambing pada tahun 2001 di ladang kelapa sawitnya, Mohd.\u00a0Subhi, 51, kini mampu tersenyum lega apabila perniagaannya mencecah 10 kali ganda nilai modal pusingan, RM500\u00a0000.\nSetakat ini, Mohd. Subhi mempunyai tiga ladang ternakan yang terletak di Karak, Pahang; Segamat, Johor; dan Desa Vista, Sepang, menurut kenyataan media Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang mengadakan lawatan ke ladang ternakan beliau, baru-baru ini.\n\u201cBeliau yang juga mengimport ternakan dari Thailand dan Australia pernah menguruskan ternakan sekitar 200 ekor\u00a0ternakan,\u00a0terutamanya ketika musim perayaan.\n\u201cLadang milik Mohd.\u00a0Subhi yang mengusaha ternakan lebih 20 tahun memiliki ternakan lebih 300 ekor lembu dan kambing. Daripada jumlah berkenaan, 40 lembu dan 40 kambing diusahakan di Desa Vista, 100 ekor lembu di Segamat, sementara 200 ekor bebiri di Karak,\u201d jelas MAFI.\nAntara baka lembu yang diternak terdiri daripada baka Brahman, kacukan Kedah Kelantan, lembu sado, lembu Charolais dan lembu kacukan Friesian Sahiwal. Kebanyakan lembu dan kambing yang diternak dibekalkan untuk pasaran tempatan meliputi kegunaan untuk akikah dan korban kepada pihak masjid, surau dan individu sekitar semenanjung Malaysia.\nSepanjang mengusahakan ternakan, Mohd.\u00a0Subhi berkata, pelbagai cabaran dan masalah yang\u00a0dihadapi, antaranya kenaikan harga lembu import, bahan mentah bagi menghasilkan makanan ternakan, kekurangan tenaga pekerja, serangan penyakit seperti penyakit kulit berbintil (LSD) dan modal yang tinggi dari segi mendapatkan mesin peralatan pertanian.\nKetiadaan kemudahan,\u00a0seperti cool room\u00a0dan rumah sembelih turut memberikan\u00a0kesan kepada pengurusan ternakan, kongsi Mohd.\u00a0Subhi.\nWalau bagaimanapun, ujar beliau, dengan adanya bantuan dan khidmat nasihat yang diperoleh daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar, beberapa masalah yang dihadapi dapat diatasi. Hal ini termasuklah\u00a0bantuan perkhidmatan suntikan vaksin dan pengambilan darah ternakan secara berjadual, tambahnya.\nDalam strategi pasaran, beliau turut membekal dan mengedar daging mentah kepada peruncit. Melalui kemudahan telefon pula, beliau membekal daging mentah kepada pengguna mengikut musim dan mingguan secara dalam talian dan fizikal." "BPMB\u00a0Lancar Lima Skim Pembiayaan Berjumlah RM5.6 Bilion\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur,\u00a03 Ogos 2021 \u2013 Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) menawarkan lima skim pembiayaan berjumlah RM5.6 bilion untuk sektor strategik utama,\u00a0termasuklah\u00a0pendigitalan, kemampanan, maritim dan logistik, pelancongan serta pengangkutan awam.\nHal ini merupakan sebahagian daripada tanda sokongan bank tersebut terhadap usaha pemulihan negara. BPMB mengalu-alukan projek dan perniagaan yang berdaya maju di bawah sektor\u00a0berkenaan untuk menghantarkan permohonan mereka.\nSkim pembiayaan yang pernah diumumkan oleh kerajaan itu menyaksikan sebanyak RM2.4 bilion pinjaman telah mendapat kelulusan untuk digunakan, sementara baki RM3.2 bilion sedia untuk digunakan kelak.\nPengerusi BPMB, Datuk Seri Nazir Razak berkata, pandemik COVID-19 telah mendatangkan impak teruk ke atas perniagaan dan industri.\n\u201cSebagai institusi kewangan pembangunan, BPMB akan memainkan peranan sebagai pemangkin untuk membantu perniagaan dan ekonomi pulih semula.\n\u201cBPMB akan tampil ke hadapan untuk menawarkan pembiayaan kukuh dengan melihat daya maju perniagaan dalam tempoh\u00a0yang lebih panjang dan memberikan sokongan kepada syarikat pada tempoh ini.\n\u201cSejak ditubuhkan, BPMB menjadi rakan kongsi yang kukuh buat perniagaan untuk menyokong pembangunan ekonomi Malaysia dan menambah baik kehidupan rakyat. Dibimbing oleh visi dan misi kami sebagai rakan pembangunan utama di Malaysia, kami menekankan tumpuan kami dengan mengambil kira keperluan penting negara buat masa ini,\u201d katanya dalam satu kenyataan.\nBagi industri digital, BPMB menawarkan pembiayaan sehingga RM1 bilion untuk mentransformasikan keupayaan perindustrian Malaysia dengan menyokong ekosistem Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).\nSementara\u00a0itu, Skim Pembiayaan Pembangunan Mampan (SDFS) pula menyaksikan peruntukan sekitar RM2 bilion yang disasarkan bagi tujuan pengambilalihan aset dan pembangunan infrastruktur.\nBPMB turut menawarkan skim pembiayaan maritim dan logistik bernilai RM1.5 bilion yang terbuka untuk pembiayaan pengambilalihan kapal, pesawat, pembangunan pekarangan kapal, pembinaan pelabuhan dan juga logistik berkaitan sektor maritim dan aeroangkasa.\nTurut diperkenalkan Skim Infrastruktur Pelancongan (TIS) dan Skim Pengangkutan Awam (PTS), yang masing-masing diberikan peruntukan bernilai RM1 bilion dan RM100 juta." "LAKSANA Ke-64: Pakej Rangsangan Ekonomi Melengkapi dalam Membantu Rakyat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nMenerusi laporan LAKSANA ke-64, pelaksanaan inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan, berkata Malaysia kekal berada pada landasan pemulihan yang tepat.\nLaporan ini merupakan wadah usaha kerajaan membantu rakyat, di samping mengekalkan dasar ekonomi dan fiskal kerajaan yang signifikan ketika negara dilanda pandemik COVID-19.\nAntara inti pati yang diulaskan dalam laporan LAKSANA, termasuklah:\n\u201cTeruskan berdisiplin dalam prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, kita pasti akan menang bersama,\u201c kata Tengku Zafrul mengakhiri satu kenyataan media pada hari ini." "Perbelanjaan Pakej Bantuan Malaysia Antara Terbesar di Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u2013 Perbelanjaan pakej bantuan yang disalurkan atau diperuntukkan oleh kerajaan Malaysia merupakan antara terbesar di dunia berbanding dengan negara lain,\u00a0seperti Indonesia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).\nSejak penularan pandemik COVID-19 melanda negara, kerajaan mengumumkan lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion.\nMenurut Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz,\u00a0Menteri Kewangan, pakej bantuan itu diperkukuhkan lagi dengan bajet terbesar dalam sejarah negara,\u00a0iaitu Belanjawan 2021 yang bernilai RM322.5 bilion.\n\n\u201cPada tahun 2020 sahaja, di tengah-tengah kegawatan ekonomi global yang dikatakan adalah paling teruk sejak perang dunia kedua, kerajaan masih komited dan mampu untuk melaksanakan pakej bantuan keseluruhan yang bernilai RM305 bilion atau 22.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).\n\u201cHal ini merupakan antara kadar terbesar berbanding dengan pakej rangsangan negara lain seperti Indonesia, Korea Selatan dan AS,\u201d katanya.\nLapan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan rakyat yang diumumkan setakat ini berpegang kepada empat elemen utama,\u00a0iaitu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai usaha mengurangkan penularan wabak; memperkasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi membina ketahanan diri; memperkenalkan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi untuk memastikan kehidupan rakyat terpelihara dan memulih semula ekonomi; serta memperkenalkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada krisis COVID-19.\nTambah Tengku Zafrul, Kementerian Kesihatan selaku institusi yang menerajui segenap aspek berkaitan\u00a0dengan\u00a0kesihatan awam telah dibekalkan peruntukan khas lebih daripada RM3.7 bilion, khususnya\u00a0dalam perbelanjaan berkaitan dengan pandemik COVID-19 yang tidak termasuk perolehan vaksin.\nPeruntukan itu antaranya melibatkan RM1.6 bilion di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN); RM1.4 bilion di bawah Belanjawan 2021, dan lebih daripada RM500 juta peruntukan tambahan di bawah pakej Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) Tambahan.\nMalah, Kerajaan Persekutuan juga telah menyalurkan peruntukan khas kepada semua negeri bagi menangani wabak COVID-19 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM 260 juta.\n\u201cHal ini bertujuan untuk pembelian kit ujian saringan, kos logistik berkaitan\u00a0dengan\u00a0vaksin, meningkatkan kapasiti peralatan kesihatan dan perubatan serta wad unit rawatan rapi (ICU), dan juga menampung perbelanjaan elaun khas kepada sukarelawan kesihatan,\u201d jelas Tengku Zafrul lanjut." "Waktu Operasi Kaunter LHDNM Mengikut Fasa PPN\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSelaras dengan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN), kebanyakan sektor sudah mula dibenarkan beroperasi secara berperingkat mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh kerajaan.\nKini, kaunter operasi Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) turut dibuka dan beroperasi mengikut fasa PPN bagi setiap negeri atau kawasan tertentu.\nPelanggan boleh hadir ke kaunter perkhidmatan LHDNM (kecuali kaunter Pusat Bayaran) melalui tempahan janji temu yang dibuat secara dalam talian (e-Janji Temu).\n\nSehubungan dengan itu, pelanggan disyorkan untuk menyemak senarai pejabat dan cawangan LHDNM yang ditutup sementara bagi mengelakkan sebarang kesulitan." "Dagangan di Bursa Malaysia Jatuh Akibat Sentimen Politik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAkibat sentimen lemah berikutan perkembangan politik semasa dan semua pihak lebih memberikan perhatian terhadap pertukaran pentadbiran kerajaan, dagangan di Bursa Malaysia terpaksa memulakan urus niaga pada indeks utama di bawah paras 1500 mata.\nHal ini dilaporkan, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 9.02 mata (0.60 peratus) kepada 1496.09 berbanding dengan 1505.11 pada hari jumaat yang lepas.\nSuasana pasaran kekal negatif dengan kaunter rugi, iaitu sebanyak 633 kaunter rugi berbanding dengan 377 kaunter untung, diikuti 422 kaunter tidak berubah, 799 tidak diniagakan dan 19 kaunter yang lain digantung.\nMenurut Vincent Lau, Ketua Jualan Ekuiti Rakuten Trade, bursa tempatan mengurangkan beberapa penurunan yang dicatatkan pada awalnya, meskipun keadaan yang agak tidak menentu.\n\u201cKami melihat pasaran yang berada di atas paras 1500 mata, sebahagiannya disebabkan oleh berlakunya peralihan yang teratur dan potensi penyelesaian kepada keadaan tidak menentu sekarang. Kami melihat pasaran ini tidak jatuh terlalu teruk seperti yang diduga oleh orang ramai susulan keadaan kini yang tidak menentu. Hal ini mungkin akan melihat aktiviti membeli saham berharga rendah,\u201d katanya lagi.\nTerkini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri sebagai Perdana Menteri Sementara sehingga perdana menteri yang baharu dilantik.\nAdam Mohamed Rahim, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., berkata Indek FBM KLCI turun 0.25 peratus pada hari ini sejajar dengan kebanyakan bursa Asia lain, seperti Korea Selatan, Jepun dan Hong Kong, yang ditutup rendah susulan pengumuman beberapa angka perdagangan China yang lebih rendah daripada yang dijangkakan.\n\u201cNamun begitu, timbul persoalan siapakah yang bakal menggantikan kedudukan Perdana Menteri sekarang? Sehingga keputusan dibuat, pelabur dijangkakan kekal tidak memasuki pasaran susulan keadaan yang tidak menentu ini,\u201d kata Adam.\nBerdasarkan sektor yang dilaporkan, Indeks Perladangan meningkat sebanyak 33.82 mata kepada 6247.23, namun Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 51.43 mata kepada 14 731.67 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh sehingga 1.09 mata kepada 187.93." "TDC Holdings Sdn. Bhd.\u00a0Empayar Pemasaran Pelbagai Tingkat Patuh Syariah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nPenentuan kejayaan sesuatu perniagaan amat dipengaruhi oleh jenis pemilihan entiti\u00a0perniagaan yang tepat oleh seseorang peniaga. Strategi pemasaran merupakan pendekatan\u00a0signifikan atau tiket bagi penggiat industri mencapai kelebihan berdaya saing yang\u00a0mampan. Sektor perniagaan sangat sinonim dengan pelbagai kemungkinan ancaman risiko, sama\u00a0ada sesuatu perniagaan itu mendapat keuntungan atau sebaliknya.\nTerdapat pelbagai jenis corak pemasaran, bermula daripada pemasaran secara konvensional\u00a0sehinggalah penggunaan pemasaran secara digital yang dikatakan menjadi satu kebiasaan baharu\u00a0dalam zaman Revolusi Perindustrian 4.0 dan Masyarakat 5.0. Walau bagaimanapun, tujuan\u00a0perniagaan masih sama adalah untuk memastikan keperluan dan kehendak pengguna dipenuhi\u00a0mengikut acuan.\nDi Malaysia, pemasaran pelbagai tingkat atau lebih dikenali sebagai Multilevel Marketing\u00a0(MLM) sudah tidak asing lagi dan menjadi pilihan kebanyakan perniagaan dengan peningkatan\u00a0statistik saban tahun, lebih-lebih lagi ketika dunia sedang berperang dengan kemelut pandemik\u00a0COVID-19 yang memberikan impak cukup besar pada diri dan ekonomi negara. Perniagaan\u00a0MLM disambut baik oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan\u00a0(KPDNKK) apabila kerajaan sendiri meletakkan sasaran bahawa industri ini bakal menyumbang\u00a0RM10 bilion atau lebih daripada jumlah tersebut kepada pendapatan ekonomi negara. Namun\u00a0demikian, perniagaan MLM sering disalahertikan dengan ketidakpatuhan pemasarannya pada\u00a0undang-undang di Malaysia, khususnya undang-undang syariah yang menekankan keadilan\u00a0dalam urusan perniagaan.\nPada hakikatnya, sistem pemasaran MLM merupakan sesuatu perniagaan yang diharuskan\u00a0dalam Islam kerana tidak bercanggah dengan syarat asas dalam muamalat, yakni memberikan\u00a0manfaat kepada pengguna selain daripada keuntungan pada perniagaan itu sendiri. Begitulah\u00a0penubuhan TDC Holdings Sdn. Bhd. yang merupakan antara syarikat MLM milik Muslim yang\u00a0bukan sekadar patuh undang-undang di Malaysia, malah patuh pada SIRIM dan syariah dari segi\u00a0pengurusan, rancangan pemasaran, produk dan kewangan pengurusan.\n\nPrinsip pengurusan TDC Holdings Sdn. Bhd. sangat teguh dan kredibilitinya sentiasa terpelihara. Pengauditan akan dilakukan pada operasi dan pelan MLM syarikat secara berkala dengan penglibatan juri audit daripada panel syariah, yakni panel tersebut mendapat pengiktirafan Angkasa Malaysia. Syarikat ini juga sering membuat rujukan kepada pakar perundingan dan penasihat, iaitu Ustaz Lariba dari Persatuan Lariba dan Lariba Consulting yang melaksanakan pemantauan pada operasi perniagaan dan menyediakan latihan muamalat dari perspektif Islam. Proses pengauditan ini mengambil tempoh enam bulan, dan juga telah mendapat pengsijilan penuh ISO 9001:2015 dan pengauditan sijil\u00a0MS 1900:2014.\nPematuhan syariah sangat penting dan perlu bermula daripada diri sendiri (pemilik perniagaan). Bukan sekadar pekerja atau organisasi itu patuh syariah. Kita ialah jurupandu yang akan membawa pesawat, sama ada menuju ke arah kebaikan atau sibuk mencari keuntungan hingga mengabaikan peraturan.\nKetelusan yang dipamerkan dalam pengurusan pengendalian syarikat, memberikan keyakinan dan sekali gus menjadi jenama pilihan bagi setiap keluarga, khususnya golongan wanita, pesakit dan orang yang kurang berpendapatan. Penghasilan produk kesihatan dan perkhidmatan berkonsepkan MLM ini berjaya mengekalkan prestasi yang cemerlang sehingga mendapat perakuan dari Good Manufacturing Practice (GMP), Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP), International Organization for Standardization (ISO) dan HALAL JAKIM.\nCetusan idea baharu terhadap penukaran sistem perniagaan secara MLM ini lahir ketika ekonomi Malaysia dikatakan sedang tenat pada tahun 2014 apabila kebanyakan bangunan, khususnya di bumi Kelantan ditenggelami oleh air kira-kira 70 peratus secara keseluruhannya. Banyak perniagaan musnah dan mengalami kerugian yang besar.\nPelbagai kaedah kami lalukan selama dua tahun selepas kejadian bencana itu, dan akhirnya, pada tahun 2016, kami melakukan transformasi menukar konsep perniagaan yang tidak menggunakan kedai secara fizikalnya, tetapi mampu berinteraksi dengan pengguna dan mengaktifkan semula aliran tunai perniagaan. Maka, sistem jualan langsung\u00a0melalui ejen dan pesan hantar (dropship) kepada\u00a0pengguna menjadi pilihan perniagaan kami,\u201d jelas\u00a0Mohd. Hafizuddin Hiew Abdullah selaku Ketua\u00a0Pegawai Eksekutif TDC Holdings Sdn. Bhd. Sewaktu\u00a0diwawancara oleh sidang editor Dewan Ekonomi.\nMenurut Hafiz Hiew, konsep perniagaan ini\u00a0memfokuskan pada pembinaan hubungan pelanggan\u00a0(consumer base). Dengan membina kekuatan ini, TDC Holdings Sdn. Bhd. telah merekodkan ejen pertama yang berjaya menjual 100 ribu kotak dalam tempoh yang singkat. Setakat ini, pasaran TDC Holdings Sdn. Bhd. sangat optimis sehingga ke peringkat antarabangsa, iaitu bertapak di Indonesia, Brunei, Thailand dan Singapura.\nImpak pemilihan jenis entiti perniagaan ini dilihat lebih kukuh dan jauh menguntungkan dari aspek ekonomi pada hari ini, meskipun berhadapan dengan pandemik dan kekangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Buktinya, jualan tahunan perniagaan direkodkan meningkat tiga kali ganda\u00a0berbanding dengan tahun 2019 sebelum PKP, iaitu RM32 juta\u00a0kepada RM102 juta. Tambah lagi, perniagaan masih berjalan\u00a0lancar dan konsisten mengekalkan jualan sebanyak RM9 juta\u00a0dan ke atas pada setiap bulan berbanding dengan tahun lepas,\u00a0hanya sekitar RM4 juta pada setiap bulan. Dalam erti kata yang\u00a0lain, peningkatan jualan sepanjang pandemik ini bukan dilihat\u00a0sementara, namun sudah menjadi pemangkin sehingga sekarang.\n\u201cApa yang dilihat, terdapat beberapa faktor yang menjadi asas\u00a0kepada kestabilan perniagaan kami. Antaranya ialah penghasilan\u00a0produk kesihatan yang berkaitan rapat dengan peningkatan\u00a0sistem imunisasi badan. Kandungan susu kolostrum pada\u00a0produk kami mempunyai bahan antibodi yang aktif dalam badan\u00a0manusia, iaitu Imunoglobulin G (IgG),\u201d kata Hafiz Hiew.\nTan Sri Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan menyatakan kebaikan IgG dalam membantu seseorang terhindar daripada jangkitan COVID-19. Kepentingan IgG dalam ujian penghasilan vaksin dibuktikan mempunyai hubung kait tindak balas pada graf lengkung antibodi manusia untuk melawan virus ini. Oleh itu, secara tidak langsung produk susu kolostrum ini dapat meningkatkan jualan promosi TDC untuk meyakinkan lagi pengguna bahawa produk ini sangat efektif dan memberikan manfaat pada kesihatan tubuh badan.\nMatlamat TDC Holdings Sdn. Bhd. berbeza dengan perniagaan lain. Dengan konsep \u201cLegasi di Dunia, Istana di Syurga\u201d, perniagaan ini lebih mementingkan kesejahteraan masyarakat, dan kemudiannya barulah disusuli dengan keuntungan syarikat. Hafiz Hiew menyatakan hampir 90 peratus keuntungan perniagaan diperuntukkan untuk sumbangan masyarakat dan tanggungjawab sosial korporat. Hingga tahun 2020, TDC Holdings Sdn. Bhd. membelanjakan lebih daripada RM6 juta sumbangan dan zakat melalui beberapa saluran seperti di masjid, pusat perubatan, dan banyak menjalinkan hubungan kerjasama dengan agensi lain.\nSatu daripada sumbangan besar bersama-sama badan kebajikan, MERCY Malaysia (Medical Relief Society Malaysia), mereka telah melaksanakan Tabung Dana Amal COVID-19 untuk membantu kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan virus ini. Sebagai contohnya, bantuan sumber makanan kepada keluarga pesakit COVID-19 dan lebih daripada 40 buah mesin bantuan pernafasan disalurkan untuk kegunaan hospital dan pusat rawatan rapi (ICU) di Malaysia.\n\nSelain itu, TDC Holdings Sdn. Bhd. turut menyumbangkan bakti kepada masyarakat melalui projek MyHAUS yang membina rumah kepada golongan asnaf dan juga menyumbang 3500 bahagian korban di Afrika, Palestin dan Malaysia yang menelan kos melebihi RM2 juta dan daging korban ini juga turut diagihkan kepada lebih daripada 4\u20135 juta golongan asnaf dengan kerjasama Yayasan Budi Ihsan Malaysia (YBIM). Selain itu, projek seperti pembangunan masjid; menaik taraf fasiliti latihan kepada pasukan Selangor FC; mewakafkan beberapa buah ambulans melalui kerjasama dengan Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik (YKKK) juga dilakukan untuk sumbangan bantuan.\nSehubungan dengan itu, Hafiz Hiew berkata, perkhidmatan yang disediakan oleh TDC Holdings Sdn. Bdn. bukan sahaja menjaga kebajikan masyarakat dan penggunanya, malah mengamalkan sistem kerja yang komprehensif. TDC Holdings Sdn. Bdn. menawarkan sistem pengiraan imbuhan (bonus) harian. Sistem ini diaplikasikan bagi tujuan membantu orang ramai untuk menjana pendapatan tambahan, malah sangat tepat pada waktu ini tatkala pandemik menyerang negara. Tawaran bonus harian ini dilihat sangat penting bagi mereka yang terkesan yang memerlukan duit segera untuk menampung kos sara hidup harian, khususnya golongan yang hilang punca pendapatan akibat dipecat, ditamatkan kontrak atau dikurangkan gaji susulan daripada pandemik COVID-19.\n\u201cPerniagaan kami sangat santai. Tiada sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dicapai, malah tiada jualan paksa kepada pengguna mahupun pekerja. Namun begitu, hakikatnya dengan tiada tekanan sebegini, seorang suri rumah pun boleh menjana pendapatan dengan hanya mempromosikan melalui media sosial, sudah boleh menjual produk. Inilah yang menyumbang kepada peningkatan keahlian sehingga 200 ribu orang dan hampir 3.5 juta produk sudah terjual. Hayat keahlian pula tiada tarikh luput dan tidak akan terbatal. Tiada syarat untuk menjadi keahlian, tanpa bayaran dan syarat tersembunyi. Hanya membeli satu kotak, mereka boleh terus menjadi ahli,\u201d jelas Hafiz Hiew.\n\nKewujudan ekosistem perniagaan yang utuh ini dikatakan demikian telah mendorong penjualan lebih daripada dua juta unit produk dengan 45 peratus pendapatan syarikat merupakan pembelian pulangan daripada pengguna. Yang menariknya, kebanyakan ejen atau peniaga TDC akan menikmati lebih daripada empat angka bonus bersih dalam sebulan, dan lebih daripada 10 orang ejen menikmati enam angka bonus.\nUsaha komitmen yang murni ini membuktikan bahawa sesiapa sahaja yang menjalinkan hubungan kerjasama dengan TDC Holdings Sdn. Bhd., pastinya selamat dan terjamin, serta dapat beramal untuk\u00a0bekalan di akhirat. Ternyata, perniagaan di bawah kepimpinan pemimpin yang berwibawa ini memberikan suri teladan yang baik, dan sekali gus mengangkat TDC Holdings Sdn. Bhd. sebagai sebuah syarikat yang eksklusif di Malaysia." "Insurans: Penjagaan Jangka Panjang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBICARA \u201cNAMY\u201c\nMENURUT Laporan Bank Dunia: A Silver Lining \u2013 Productive and Inclusive Aging for Malaysia, negara kita dikategorikan sebagai negara menua (aging nation) pada tahun 2020 apabila penduduk berusia 65 tahun dan ke atas merangkumi lebih tujuh peratus daripada populasi negara.\nMalahan, Bank Dunia menjangkakan bahawa sama seperti Jepun, Malaysia akan melalui proses yang singkat untuk bertukar daripada status negara menua ke negara tua (aged nation), iaitu hanya dalam tempoh 24 tahun. Kategori negara tua menyatakan lebih daripada 14 peratus populasi penduduknya berusia 65 tahun dan ke atas. Oleh itu, takrifan antarabangsa bagi warga emas ialah golongan yang berusia 65 tahun dan ke atas.\nYang menariknya, hal ini sedikit berbeza daripada takrifan yang diguna pakai di Malaysia. Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, warga emas ditakrifkan sebagai golongan yang berusia 60 tahun dan ke atas. Meskipun terdapat sedikit perbezaan dalam takrifan tersebut, perkara yang penting adalah untuk kita bersiap sedia menghadapi cabaran dalam transisi menuju status negara tua.\nBank Dunia menjelaskan terdapat tiga dasar teras yang perlu diberikan\u00a0perhatian oleh kerajaan dalam menangani cabaran ini, iaitu produktiviti, jaminan pendapatan, serta perkhidmatan penjagaan orang tua.\nSetiap negara memerlukan sistem insurans penjagaan jangka panjang yang komprehensif \u2013 sistem yang menghubungkaitkan dua dasar terakhir yang disebutkan di atas.\nInsurans penjagaan jangka panjang atau lebih dikenali sebagai long term care insurance\u00a0mungkin masih asing di Malaysia, namun kepentingan sistem insurans ini sudah diperakui negara\u00a0maju lain seperti Jerman, Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.\nIPJP merujuk aturan berinstitusi bagi pembiayaan penjagaan sakit kronik, atau ketidakupayaan mental dah fizikal. Berdasarkan pemerhatian ke atas negara lain yang sedia mempunyai sistem IPJP, terdapat pelbagai model yang diguna pakai dalam membentuk kerangka polisi mereka.\nSecara amnya, terdapat sistem IPJP awam dan IPJP swasta. Di samping itu, kerjasama awam dengan swasta dalam penyediaan sistem IPJP juga kini dilihat sebagai sesuatu yang berpotensi untuk dilaksanakan. Namun begitu, dalam setiap sistem di atas, masih terdapat pelbagai variasi yang membezakan antara polisi satu negara dengan negara yang lain.\n\nSecara amnya, sektor perkhidmatan kesihatan awam Malaysia dibiayai oleh pendapatan cukai negara. Walau bagaimanapun, sudah tentu rakyat turut mempunyai pilihan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan swasta sama ada menerusi wang sendiri atau polisi insurans peribadi/syarikat. Bagi perkhidmatan kesihatan awam yang melibatkan penjagaan jangka panjang terutamanya yang berkaitan faktor usia, pilihan bagi penyelesaian situasi tersebut adalah sangat terhad.\nSecara tradisinya, tanggungjawab penjagaan jangka panjang yang dimaksudkan diambil alih oleh ahli keluarga. Walau bagaimanapun, peningkatan jangka hayat penduduk serta penurunan kadar kesuburan telah menyaksikan transisi demografi ketara, iaitu peningkatan populasi warga emas serta penurunan populasi warga muda. Antara lain, hal ini menyumbang kepada penurunan kebergantungan warga emas kepada ahli keluarga bagi penjagaan jangka panjang.\nPada negara menua dan tua, antara kesan langsung dari transisi demografi ialah peningkatan perbelanjaan kesihatan awam. Oleh sebab itu, terdapat kebarangkalian yang tinggi apabila jumlah perbelanjaan tersebut tidak lagi mampu dibiayai dengan pendapatan cukai negara semata-mata. Berdasarkan situasi terkini, perkhidmatan kesihatan jangka pendek bagi warga emas masih lagi disediakan secara meluas, tetapi dengan peningkatan populasi warga emas dan unjuran peningkatan kos kesihatan, situasi ini mungkin berubah.\nDi samping itu, penyelesaian bagi penjagaan jangka panjang juga kini begitu terhad. Kapasiti pusat penjagaan harian yang disediakan kerajaan masih tidak mencukupi bagi menampung keperluan penduduk. Bantuan kewangan juga dilihat agak sukar dan melibatkan masalah birokrasi yang tinggi. Oleh hal yang demikian, masalah ini mungkin akan lebih meruncing seiring dengan status negara tua pada masa akan datang.\nMalaysia perlu membuat persiapan rapi dalam menghadapi status negara tua tidak lama lagi. Walaupun secara amnya Malaysia mempunyai sistem perkhidmatan kesihatan yang baik, namun sokongan bagi penjagaan jangka panjang masih lagi terhad. Oleh itu, sekarang merupakan masa yang tepat untuk negara kita mula mempertimbangkan pembentukan sistem insurans bagi penjagaan jangka panjang.\nSebagaimana yang dilaksanakan oleh negara\u00a0lain, pembentukan sistem insurans penjagaan jangka panjang yang komprehensif dilihat sebagai langkah yang perlu diambil. Sistem ini meliputi empat aspek penting, iaitu bentuk manfaat, pembiayaan, kriteria kelayakan, \u00a0serta penawaran perkhidmatan. Kesemua aspek ini perlu dikaji dengan teliti bagi memastikan pembentukan sistem IPJP yang efisien dan bermanfaat kepada penduduk secara keseluruhannya.\nDr. Nurul Afidah Mohamad Yusof,\nPengerusi, Pusat Perakaunan, Perbankan dan Kewangan (CABF),\nFakulti Perniagaan dan Kewangan,\nUniversiti Tunku Abdul Rahman (Kampus Kampar),\nPerak." "Pandemik COVID-19: Sektor Ekonomi yang Terjejas\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Kata yang Tercicir Golongannya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nUmum mengetahui bahawa kata-kata dalam bahasa Melayu dikategorikan sebagai kata nama, kata kerja, kata adjektif atau kata tugas. Dalam hal ini, kebanyakan kata sudah tergolong dalam kategori masing-masing. Walau bagaimanapun, ada segelintir kata yang tidak begitu jelas golongan katanya.\nAda pihak yang mengkategorikan kata seperti \u201cbegitu\u201d, \u201cbegini\u201d dan \u201cdemikian\u201d sebagai kata adverba jati. Namun begitu, hal ini perlu kita pertimbangkan semula. Seperti yang kita ketahui, dalam bahasa Melayu terdapat kata ganti nama tunjuk umum, iaitu \u201cini\u201d dan \u201citu\u201d. Penggunaannya adalah seperti yang berikut:\n1a.\u00a0 Benda ini milik saya.\n1b.\u00a0 Ini milik saya.\n2a.\u00a0 Benda itu mahal.\n2b.\u00a0 Itu mahal.\nDalam kelompok ayat 1, \u201cini\u201d dan \u201citu\u201d berfungsi sebagai penerang inti frasa nama atau kata penentu belakang. Kata-kata tersebut dapat menggantikan inti frasa nama.\nKata \u201cbegini\u201d, \u201cbegitu\u201d dan \u201cdemikian\u201d pula merupakan kata ganti nama tunjuk cara. Sila lihat contoh yang berikut:\n3a. Cara begini adalah betul.\n3b. Beginilah cara yang betul untuk memasak gulai.\n3c. Cara yang betul begini.\n4a. Cara begitu adalah betul.\n4b. Begitulah cara yang betul untuk memasak gulai.\n4c. Cara yang betul begitu.\n5a. Cara demikian adalah betul.\n5b. Demikianlah cara yang betul untuk memasak gulai.\nKata ganti nama tunjuk cara \u201cbegini\u201d, \u201cbegitu\u201d dan \u201cdemikian\u201d dapat berfungsi sebagai adverba jika menghuraikan kata adjektif atau kata kerja. Sila lihat contoh yang berikut:\n6a.\u00a0 Cara yang begini cekap harus dicontohi.\n6b.\u00a0 Berlari begitu amat memenatkannya.\n6c.\u00a0 Berlari demikian amat memenatkannya.\nDalam ayat 6a, kata \u201cbegini\u201d berfungsi sebagai adverba yang menghuraikan kata adjektif \u201ccekap\u201d. Dalam ayat 6b, kata \u201cbegitu\u201d berfungsi sebagai adverba yang menghuraikan kata kerja \u201cberlari\u201d. Dalam ayat 6c, kata \u201cdemikian\u201d juga berfungsi sebagai adverba yang menghuraikan kata kerja \u201cberlari\u201d.\nBagaimanakah pula halnya dengan kata-kata seperti \u201cserentak\u201d, \u201clangsung\u201d \u201csekali gus\u201d dan \u201cjulung-julung kali\u201d yang juga sering digolongkan sebagai adverba? Kata-kata tersebut dapat menjadi penerang inti dalam frasa nama. Sila lihat contoh yang berikut:\n7a. \u00a0Tindakan serentak membuahkan hasil.\n7b.\u00a0 Penglibatan langsung lebih berkesan.\n7c.\u00a0 Langkah sekali gus sudah dirancang.\n7d.\u00a0 Rundingan julung-julung kali telah diadakan.\nDalam hal ini, kata-kata seperti \u201cserentak\u201d, \u201clangsung\u201d \u201csekali gus\u201d dan \u201cjulung-julung kali\u201d patut digolongkan sebagai kata adjektif cara kerana menghuraikan kata nama yang menjadi inti frasa nama. Kata adjektif cara begini dapat berfungsi sebagai adverba jika menguraikan kata kerja atau frasa sendi nama. Sila lihat contoh yang berikut:\n8a.\u00a0 Mereka bertindak secara serentak.\n8b.\u00a0 Mereka ke sana secara serentak.\n9a.\u00a0 Mereka terlibat secara langsung.\n10a.\u00a0 Mereka bertindak sekali gus untuk mengatasi masalah.\n11a.\u00a0 Mereka mengadakan mesyuarat itu julung-julung kali.\nDalam ayat 8a, kata \u201cserentak\u201d menghuraikan kata kerja \u201cbertindak\u201d. Dalam ayat 8b, kata \u201cserentak\u201d menghuraikan frasa sendi nama \u201cke sana\u201d. Dalam ayat 9a, kata \u201clangsung\u201d menghuraikan kata kerja \u201cterlibat\u201d. Dalam ayat 10a, frasa \u201csekali gus\u201d menghuraikan kata kerja \u201cbertindak\u201d. Dalam ayat 11a, frasa \u201cjulung-julung kali\u201d menghuraikan frasa kerja \u201cmengadakan mesyuarat\u201d.\nAda pihak yang beranggapan bahawa kata adjektif mesti dapat diiringi oleh kata penguat seperti \u201csangat\u201d, \u201c\u201dsekali\u201d, dan \u201cbenar\u201d. Namun begitu, sememangnya ada kata adjektif yang tidak boleh atau tidak biasa digandingkan dengan kata penguat. Sila lihat contoh yang berikut:\n12a.\u00a0 Jawapannya betul.\n12b.\u00a0 Jawapannya salah.\n12c.\u00a0 Pakaiannya putih.\n12d.\u00a0 Meja itu bujur.\n12e.\u00a0 Kereta baharu kawannya rosak.\n12f.\u00a0 \u00a0Kisah lampau jangan dikenang.\n12g.\u00a0 Gasing leper itu sudah pecah.\n12h.\u00a0 Tayar kempis harus dibaiki.\n12i.\u00a0 \u00a0Begnya berwarna ungu." "Perniagaan: Hidupkan Ukhuwah, Penuhi Impian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSebagai pejuang dan penggiat industri, rasa bertanggungjawab untuk menukarkan kembali persepsi masyarakat, terutamanya pelapis masa depan agar mengutamakan pendidikan dalam bidang keusahawanan. Timbul persoalan yang berlegar-legar dalam fikiran Hafiz Hiew, mengapakah kebanyakan orang, terutamanya bangsa Melayu, meletakkan perniagaan sebagai pilihan terakhir dalam kerjaya mereka? Jika sebut tentang perniagaan, pastinya dilabelkan sebagai golongan bawahan atau tidak mempunyai standard kedudukan, yang dikatakan berniaga adalah jalan terakhir bagi menjana pendapatan rentetan daripada tiada kelayakan daya saing yang mampan dalam pasaran industri.\n\u201cPerniagaan bukanlah suatu pekerjaan yang hina, namun perniagaan merupakan antara bidang yang sangat membina. Jika tidak mampu menjadi ahli pakar profesional, sekurang-kurangnya jadilah orang yang bermanfaat dan dapat membantu mengembangkan ekonomi negara.\u201d\nDahulunya berbangsa Cina, kini apabila mendalami kehebatan kitab al-Quran yang bersifat menyeluruh, beliau tekad memeluk Islam pada tahun 2019. Dilahirkan 15 Januari 1987 di Ipoh, Perak, yang merupakan anak sulung daripada dua beradik ini sudah berkecimpung dalam dunia perniagaan sejak berumur 14 tahun demi mencari rezeki tambahan untuk membantu keluarganya. Beliau mendapat asas pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Gunung Rapat Ipoh dan pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Gunung Rapat Ipoh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson Ipoh, Perak.\nSeterusnya, Hafiz Hiew berjaya melanjutkan pelajaran\u00a0di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam bidang Sarjana\u00a0Muda Sains Gunaan (Kepujian) dengan jurusan Keusahawanan\u00a0Teknologi Pertanian. Oleh sebab cintakan pelajaran dalam masa\u00a0yang sama minat dalam bidang keusahawanan, beliau meneruskan\u00a0lagi pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang\u00a0Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dengan jurusan\u00a0Perniagaan di UMK.\nBerlandaskan pengalaman yang mendalam dalam bidang perniagaan, ketersediaan untuk melangkah ke dunia keusahawanan semakin membakar semangat dan jiwanya. Sebelum menubuhkan TDC Holdings Sdn. Bhd., Hafiz Hiew pernah membuka dan menjalankan perniagaan pencetakan pakaian dan cenderamata di Bachok, Kelantan ketika Tahun Ketiga pengajian di UMK lagi.\nKini, TDC Holdings Sdn. Bhd. yang sudah bertapak di\u00a0Malaysia, bahkan meluas hingga ke Singapura, Thailand, Brunei\u00a0Indonesia akan menempa nama \u201cHafiz Hiew\u201d ke peringkat global.\u00a0Syarikat ini menjadi simbol kejayaan, kebanggaan, kegigihan dan\u00a0semangat juang dalam meningkatkan syarikat Bumiputera yang\u00a0berteraskan keseimbangan antara pelanggan dengan organisasi\u00a0mengikut acuan Islam. Hala tuju ini sekali gus dapat menempis\u00a0tanggapan negatif bahawa anak muda Bumiputera tidak boleh\u00a0berjaya dalam bidang keusahawanan.\n\u201cFikirkan hal-hal yang paling hebat, dan kamu akan menjadi\u00a0hebat. Tetapkan akal pada hal tertinggi, dan kamu akan mencapai\u00a0yang tertinggi. Saya selalu berpegang pada prinsip, iaitu bermula\u00a0dengan niat yang baik. Inilah merupakan strategi yang paling\u00a0utama sebelum membenarkan strategi pemasaran yang lain,\u201d\u00a0kongsi antara 100 Ketua Pegawai Eksekutif Muda Terkemuka\u00a0di Malaysia ini.\nTambahnya lagi, sepanjang 11 tahun dalam bidang keusahawanan ini, terdapat pelbagai kerenah usahawan yang dilihat yang menjadi faktor kepada kegagalan dalam kelangsungan perniagaan. Faktor utamanya, kealpaan seorang usahawan yang tersasar daripada niat asal perniagaannya. Hal ini dikatakan demikian apabila perniagaan semakin stabil dan maju, mereka lupa akan kebajikan terhadap masyarakat, khususnya ahli keluarganya sendiri. Selain itu, ada pula yang lupa akan tanggungjawab untuk membantu golongan yang memerlukan dan banyak menggunakan kekayaan keuntungan perniagaan untuk diri sendiri dengan riak dan sombong.\n\u201cApabila niat sudah terbabas, kadangkala kita diuji dan Allah akan menarik semula rezeki itu. Sesungguhnya, Allah Maha pemberi rezeki. Allah memberikan ujian untuk umatnya menyedari akan kesilapan, dan perlu kembali mendekatkan diri dengan Pencipta-Nya, serta membaiki hubungan sesama manusia. Carilah keberkatan sebelum mendapat keuntungan. Dalam sibuk mengejarkan keuntungan perniagaan, sebagai peniaga Islam, kita haruslah tekad berusaha untuk mengeluarkan zakat dan bersedekah kepada golongan yang memerlukan. Bersedekah tidak sama sekali mengurangkan dan merugikan harta, bahkan perkara ini akan semakin bertambah dan terus bertambah,\u201d ujar pengasas susu kolostrum yang mempunyai jiwa dermawan dan niat yang telus.\nDengan ketetapan prinsip yang teguh meletakkan sepenuh keyakinan pada Allah, perniagaan TDC Holdings Sdn. Bhd. dikatakan terus meraih keuntungan besar dan permintaan yang sangat tinggi daripada pengguna walaupun berhadapan dengan cabaran ekonomi yang meleset akibat pandemik COVID-19. Situasi ini berbeza dengan kebanyakan perniagaan lain yang kebanyakan sudah gulung tikar menanggung kerugian.\nBagi Hafiz Hiew, keseimbangan antara harta di dunia dengan\u00a0akhirat perlulah sama atau lebih daripada di dunia. Dengan\u00a0menggunapakai sistem pemasaran pelbagai tingkat (MLM),\u00a0TDC Holdings Sdn. Bhd. perlu komited dalam usaha membantu\u00a0orang lain menjana pendapatan tambahan menerusi produk yang\u00a0berkualiti. Begitulah fokus utama syarikat di bawah kepimpinan\u00a0Cina mualaf ini, yang sentiasa menjaga kesejahteraan dan\u00a0kebajikan pekerja dan masyarakat.\nSebelum menamatkan bicara, Hafiz Hiew turut berpesan, \u201chidup merupakan suatu perjuangan bukanlah pertandingan. Berniagalah walaupun hanya menjual tisu, sekurang-kurangnya kita mencari rezeki dengan usaha diri sendiri tanpa menjadi pengemis jalanan, kerana diri masih mempunyai kudrat. Jadikanlah platform perniagaan sebagai satu kejayaan. Contohilah Rasulullah SAW dan para sahabat yang mengembangkan ekonomi Islam dengan hebat sekali melalui perniagaan\u201d." "Selangor Kekal Menjadi Tumpuan Pelabur \u2013 Titah Sultan Selangor\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nShah Alam \u2013 Meskipun pandemik COVID-19 belum menunjukkan tanda pengakhirannya, Selangor masih menjadi pilihan utama pelabur tempatan dan luar negara untuk menjalankan perniagaan berikutan kemudahan prasarana yang lengkap dan moden. Hal ini selaras dengan dasar kerajaan yang mencorakkan persekitaran perniagaan\n\u201cSebanyak 324 projek perkilangan telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Selangor dengan nilai pelaburan berjumlah Ringgit Malaysia RM18.43 bilion.\n\u201cDari jumlah ini, sebanyak RM6.95 bilion (37.7 peratus) daripada pelaburan tempatan dan RM 11.48 bilion (62.3 peratus) daripada pelaburan asing.\n\u201cPelabur dari Jepun merupakan pelabur utama, diikuti dengan pelabur dari Netherlands dan China,\u201d titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 Tahun 2021.\nBaginda bertitah, kelebihan daya saing itu menyaksikan prestasi pelaburan dan perindustrian bagi tahun 2020 merekodkan pencapaian cemerlang dengan mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi berbanding dengan negeri lain.\nSementara itu, baginda turut menyatakan di sebalik pandemik, sebanyak 19 950 potensi peluang pekerjaan berjaya diwujudkan hasil daripada projek perkilangan yang diluluskan di Selangor.\n\u201cBagi tahun ini, sasaran pelaburan yang ditetapkan kekal sebanyak RM12 bilion. Pengekalan sasaran ini adalah berdasarkan jangkaan berlakunya pengurangan dalam aktiviti pelaburan disebabkan penularan wabak COVID-19 dan proses pemulihan ekonomi yang dihadapi seluruh negara ketika ini,\u201d titah baginda.\nWalaupun Selangor menjadi tumpuan sektor pelaburan, tidak dinafikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan penutupan premis perniagaan yang menyebabkan rakyat kehilangan sumber pekerjaan dan pendapatan.\n\u201cPeningkatan kepada kadar pengangguran negara dilaporkan kian meningkat, iaitu 4.9 peratus pada tahun 2020 berbanding dengan 3.2 peratus pada tahun 2019.\n\u201cSelepas sedikit pertumbuhan pada awal tahun ini, baru-baru ini kadar pengangguran meningkat semula kepada 4.8 peratus selepas 40 600 pekerja hilang pekerjaan pada Jun 2021,\u201d titah baginda.\nPenularan wabak ini memaksa rakyat untuk menggunakan teknologi dan kemudahan dalam talian sebagai sebahagian daripada kehidupan seperti membeli barangan, menghadiri kelas, bermesyuarat, menguruskan bencana dan aktiviti seharian lain.\nMenurut Sultan Selangor, hal ini menunjukkan bahawa kita sedang bergerak ke arah satu kehidupan serba digital atau lebih dikenali sebagai Revolusi Perindustrian 4.0 dan Masyarakat 5.0.\n\u201cSelangor akan terus menyediakan infrastruktur bermutu dan berkelajuan tinggi serta khidmat penyambungan digital yang cekap dan selamat,\u201d titah baginda ketika mengakhiri ucapan persidangan tersebut." "Langkawi Sedia Membuka Aktiviti Pelancongan Secara Penuh\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRentetan pengumuman pembukaan beberapa sektor ekonomi sejak pertengahan Ogos lalu, memberikan sinar kepada penggiat sektor pelancongan untuk kembali aktif membuka perniagaan seperti sedia kala.\nTerkini, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) mula memperkenalkan sijil pematuhan prosedur operasi standard (SOP) \u2013 di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan Langkawi 2021\u20132022.\nPelaksanaan ini bertujuan untuk memberikan jaminan persediaan kepada aktiviti pelancongan ekonomi, setelah perjalanan domestik dibuka semula.\nMengulas tentang kriteria yang ditetapkan pada sijil ini, semua petugas dalam sektor pelancongan perlu melengkapkan pengambilan vaksinasi sebelum pembukaan operasi penuh sesuatu perniagaan tersebut.\n\u201cHal ini merupakan suatu cerminan dan tindakan yang baik sebagai persediaan pembukaan operasi pelancongan kepada masyarakat umum dan penggiat industri. Inisiatif pelaksanaan sijil ini menampilkan Langkawi sebagai destinasi perintis pelancongan.\n\u201cSelain itu, hal ini dapat membantu kawasan pelancongan lain turut menerapkan tindakan yang sama, di samping menjana kembali pendapatan operasi,\u201d kata Nasaruddin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA.\nMenurut Nasaruddin, terdapat beberapa segmen pensijilan pelancongan disediakan yang merangkumi tempat penginapan, peruncitan, agensi pelancongan, hotel dan resort.\n\u201cPendekatan perolehan sijil sukarela ini telah mengambil usahasama dengan Akademi Pelancongan Langkawi bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan beberapa pihak yang lain. Dengan wujudnya usaha ini, sektor pelancongan mampu meningkatkan semula pertumbuhan domestik Malaysia\u201d, katanya lagi." "Harga Minyak RON97 Menurun, Lain Kekal\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPUTRAJAYA \u2013 Demi memastikan kelangsungan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terjaga dan terpelihara, kerajaan akan sentiasa cakna terhadap pemantauan kesan perubahan harga minyak mentah dunia dari semasa ke semasa.\nDalam kenyataan, perubahan hanya dilakukan pada harga petrol RON97, iaitu menurun sebanyak 2 sen seliter. Walau bagaimanapun, bagi harga runcit petrol RON95 dan diesel masih kekal, iaitu RM2.05 dan RM2.15 seliter, masing-masing.\nKementerian Kewangan Malaysia memaklumkan bahawa harga runcit produk petroleum dilaksanakan berdasarkan penetapan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) secara mingguan.\nBagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 dan diesel pada paras harga siling, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan.\nKerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia, serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara." "Keuntungan Bersih Kenanga Meningkat RM64.7 Juta\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u2013 Bank pelaburan bebas terkemuka Malaysia, Kenanga Investment Bank Berhad (Kenanga atau Kumpulan) kini\u00a0mengumumkan peningkatan sebanyak 49.4\u00a0peratus\u00a0dalam keuntungan selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan (PATNCI atau keuntungan bersih) bagi suku kedua berakhir pada 30 Jun 2021 (S2 2021).\nMenurut laporan, perolehan yang lebih kukuh sebahagian besarnya daripada sumbangan perniagaan pembrokeran saham, pelaburan dan pengurusan kekayaan, selain mendapatkan keuntungan yang lebih tinggi daripada usaha sama dengan Rakuten Trade.\nSelain itu, lebih separuh daripada keuntungan Kumpulan sebelum cukai (PBT)\u00a0disumbangkan oleh segmen pembrokeran saham, yang terus menjadi penyumbang perolehan utama Kumpulan. \u00a0PBT daripada segmen ini meningkat sebanyak 45.3\u00a0peratus\u00a0kepada RM20.0 juta pada S2 2021, berbanding dengan RM13.7 juta dalam tempoh yang sama pada tahun lepas. Peningkatan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh pendapatan faedah bersih yang lebih tinggi dan juga pendapatan dagangan dan pelaburan.\nDatuk Chay Wai Leong, Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga Investment Bank Berhad.\nKami berasa gembira bahawa Kumpulan terus melaporkan pelbagai keputusan yang membanggakan pada suku kedua. Ekonomi skala, terutamanya dalam bahagian pembrokeran saham dan Rakuten Trade, membantu mempertingkatkan keuntungan Kumpulan.\n\u201cDengan infrastruktur digital berada pada kedudukan yang kukuh, kos memperoleh dan mengekalkan pelanggan baharu telah berkurang seiring dengan perkembangan kami\nJumlah keuntungan bersih S2 2021\u00a0ialah RM30.6 juta\u00a0jika dibandingkan dengan RM20.5 juta dalam tempoh yang sama pada tahun lepas (S2 2020). Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2021 (ST1 2021), keuntungan bersih meningkat sebanyak empat kali kepada RM64.7 juta, daripada RM13.5 juta pada ST1 2020.\nHasil disatukan bagi S2 2021 berjumlah RM212.6 juta, lebih tinggi daripada RM210.6 juta pada S2 2020. Pulangan tahunan ke atas ekuiti (ROE) ialah sebanyak 12.8\u00a0peratus, berbanding dengan sepanjang tahun 2020 sebanyak 10.7\u00a0peratus.\nDemikian juga, sumbangan PBT daripada bahagian pelaburan dan\u00a0pengurusan kekayaan meningkat lebih dua kali kepada RM6.2 juta disebabkan oleh penjanaan pendapatan yuran pengurusan lebih tinggi yang disokong oleh peningkatan aset di bawah kekuatan agensi pengurusan dan jualan.\nRakuten Trade, usaha sama (JV) Kumpulan dan \u00a0broker ekuiti Malaysia dalam talian sepenuhnya yang pertama, terus mencatatkan pembukaan akaun bulanan purata yang kukuh sebanyak 6800 akaun bagi S2 2021. Pada akhir Jun 2021, Rakuten mempunyai jumlah keseluruhan 217\u00a0400 akaun, iaitu 51\u00a0600 melebihi jumlah yang diperolehnya pada tahun lepas. Hal yang demikian, ditambah pula dengan peningkatan perniagaan yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan bersih Kumpulan.\nMeskipun nilai dagangan harian purata di Bursa Malaysia telah berkurang berikutan kebimbangan sekatan pergerakan yang timbul akibat daripada penularan semula jangkitan COVID-19 di Malaysia, kami terus berharap bahawa ekonomi akan kembali pulih dengan segera berikutan pelaksanaan program vaksinasi kebangsaan terus mencatatkan peningkatan.\n\u201cMelihat ke hadapan, kami akan kekal memberikan tumpuan pada usaha memperkukuh asas perniagaan kami dan mengembangkan penawaran semasa kami bagi memastikan kami kekal berdaya tahan dan tangkas dalam memberikan respons kepada keperluan yang berubah-ubah dalam perniagaan teras yang kami laksanakan." "Program CSR Hasil Prihatin, 2450 Bakul Makanan Diagihkan ke Empat Negeri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMenyedari banyak golongan yang terkesan disebabkan oleh penularan pandemik COVID-19, Program CSR Hasil Prihatin menyediakan sebanyak 2450 bakul makanan untuk diserahkan kepada kumpulan sasar.\u00a0Pelaksanaan program ini dilakukan secara serentak\u00a0di beberapa negeri, seperti\u00a0Sabah, Kelantan, Johor dan sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.\nJelas, program ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam usaha membantu rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan demi memastikan kelangsungan hidup mereka terpelihara, lebih-lebih ketika situasi yang sangat mencabar ini.\nDi Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Dr. Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin, Yang Di-Pertua Negeri Sabah berkenan menghadiri program ini\u00a0yang diadakan dengan kerjasama Yayasan Nur Juhar (YNJ). YBhg. Dato\u2019 Sri Dr. Sabin Samitah, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) menyerahkan bantuan 600 bakul makanan kepada Tuan Yang Terutama Tun Datuk Sri Panglima Dr. Haji Juhar yang kemudiaannya akan diagihkan kepada penduduk setempat. Penyerahan sumbangan ini diadakan di Dewan Santapan Istana Negeri dan merupakan program bersama melalui YNJ.\nDi Kelantan, \u00a0Pusat Khidmat Dun Pasir Pekan, Wisma I\u2019baadurrahman Tumpat menjadi destinasi pelancaran program ini yang disempurnakan oleh YAB Ustaz Dato\u2019 Haji Ahmad Yakob (Dato\u2019 Bentara Kanan), Menteri Besar Kelantan. Upacara penyerahan 750 bakul makanan sumbangan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) kepada wakil penduduk dari empat daerah, iaitu Tumpat, Kuala Krai, Peringat dan Kota Bharu. Turut hadir pada program tersebut ialah YBhg. Datuk Mohd Jaafar Embong, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDNM, Kamarudzaman Bahrain, Pengarah Negeri LHDNM Terengganu dan Kelantan, serta pegawai kanan LHDNM Kota Bharu.\nDi Johor pula, program penyerahan sumbangan diadakan di Dewan Serbaguna Menara Hasil Johor Bahru. Md Kamal Johan selaku Pengarah Negeri LHDNM Johor menyerahkan 600 bakul makanan kepada wakil masjid dan surau di sekitar Daerah Johor Bahru untuk diserahkan kepada kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik. Antara masjid dan surau yang terlibat, termasuklah Surau Al Muhajirin di Taman Sinaran Kempas, Masjid Annur di Taman Cendana, Surau Assolawatil Hikmah, Taman Desa Mutiara, Surau Ar Raudah, Taman Nusantara, Surau An Nur, Taman Daya dan Surau Jumaat yang terletak di Taman Skudai Kanan.\nSementara itu, Mohamad Fauzi Saat, Pengarah Negeri LHDNM WP Putrajaya pula berkesempatan menyerahkan sejumlah 500 bakul makanan kepada wakil penduduk di PPR Hiliran Ampang dan Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah, Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur. Pemberian sumbangan ini khusus untuk penduduk yang kurang berkemampuan di kawasan PPR Hiliran Ampang, Kampung Orang Asli Ulu Kemensah, SMK Lembah Keramat, SRAI Taman Keramat, Tabika Perpaduan Sri Selangor, PPR Wangsa Sari serta PPR Desa Rejang.\nMenurut laporan, sesi penyerahan bakul makanan ini merupakan sebahagian daripada siri penyampaian sumbangan berbentuk makanan dan barang keperluan asas di bawah Program CSR Hasil Prihatin yang dilancarkan oleh Kementerian Kewangan pada 31 Julai 2021 yang lalu dan diharapkan program sebegini diperluaskan pelaksanaannya ke seluruh negara." "Tengku Datuk Seri Zafrul dan Datuk Seri Azmin Kekal di Kementerian Masing-masing\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nPutrajaya\u00a0\u2013 Dalam tempoh beberapa hari selepas pertukaran Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akhirnya terjawab juga spekulasi berhubung nama anggota Kabinet baharu di bawah pentadbirannya.\nPembentukan Kabinet baharu ini diumumkan pada pukul 11.00 pagi tadi di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Sementara itu, majlis angkat sumpah Menteri dan Timbalan Menteri bakal berlangsung pada Isnin minggu hadapan, pukul 2.30 petang.\nPerkara ini disahkan oleh Pejabat Perdana Menteri beberapa jam selepas Ismail Sabri menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang, semalam bagi mempersembah senarai nama anggota Kabinet baharu itu.\nSenarai Kabinet yang dipilih merupakan kombinasi ahli yang berpengalaman, diyakini, mampu membantu negara memulihkan semula ekonomi dengan menyokong usahawan, memudahcarakan perniagaan, dan merancakkan semula aktiviti ekonomi, serta meyakinkan golongan pelabur.\n\u201cOleh itu, pelantikan Kabinet baharu ini diharap dapat memberikan keyakinan dan nafas baharu untuk negara bangkit dan bersatu dalam melawan serangan wabak COVID-19, di samping membebaskan rakyat daripada kesengsaraan hidup akibat pandemik ini,\u201d kata Perdana Menteri dalam pengumuman khas pagi ini.\nSusulan daripada senarai Ahli Jemaah Kabinet baharu ini, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Menteri Kewangan, iaitu Datuk Seri Azmin Ali dan Tengku Datuk Seri Mohd. Zafrul Tengku Abdul Aziz, kekal di kementerian masing-masing.\n\u201cSaya akan pastikan Kabinet ini menekankan budaya kerja berprestasi tinggi. Setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan.\n\u201cMaka itu, setiap kementerian yang diamanahkan ini perlu memberikan tumpuan jelas dan membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama,\u201c jelas beliau." "Perubahan Pemikiran ke Arah Era Konvergen\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam norma pandemik COVID-19, masyarakat kini disarankan untuk memupuk minda keusahawanan demi meneruskan kelangsungan hidup tatkala mendepani kekangan ekonomi. Minda keusahawanan yang dimaksudkan ialah \u201cminda inovasi\u201d yang menjadikan penentu kepada seseorang itu sama ada berada di hadapan atau ketinggalan ke belakang.\n\nMenariknya bicarawara Program Ambang Merdeka Siri ke-4 yang bertajuk Mendepani Cabaran Ekonomi, Peranan Kita Sebagai Rakyat, mengupas isu berkaitan dengan transformasi minda rakyat menuju kehidupan yang lebih jelas dan berwawasan.\nProgram ini menampilkan\u00a0Datuk Dr. Madeline Berma, pakar ekonomi dan Felo Akademi Sains Malaysia sebagai ahli panel, dan Abdul Ghani Abu selaku moderator.\n\u00a0\nMenurut\u00a0Datuk Dr. Madeline, masyarakat perlu lebih kreatif dalam menginovasikan sesuatu perkara yang baharu dan unik. Masyarakat juga perlu bijak mencari peluang untuk mengembangkan perniagaan dalam era konvergen pendigitalan ini. Pendekatan pemasaran melalui platform media sosial merupakan\u00a0inisiatif terbaik dalam memperkenalkan perniagaan di pasaran dunia\u00a0kini.\nCOVID-19 pada era revolusi 4.0 ini memberikan ruang dan peluang pada pembangunan era digital, serta peluang kerjaya kerana ekonomi pendigitalan semakin mendapat tempat.\n\u201cSituasi ini hakikatnya memberikan hikmah kepada masyarakat untuk memulakan langkah perubahan pemikiran ke arah pendigitalan dan bertindak sejajar dengan perubahan sekeliling.\nMasyarakat perlu bersiap sedia mendepani era digital kerana revolusi ini berkembang dengan sangat pantas.\nBeliau mengulas lebih lanjut mengenai cara untuk memastikan pengurangan jurang kemiskinan dan digital dalam masyarakat kerana hal ini boleh menjejaskan zaman pemodenan.\nKatanya, ketika semua bergelut dengan pandemik COVID-19, masyarakat perlulah bersama-sama memikul tanggungjawab dalam usaha ke arah pemodenan, bukan hanya mengharapkan kepada satu pihak. Beliau berpendapat bahawa setiap masyarakat perlu meraikan perbezaan adab resam masing-masing dan memahami antara satu sama lain.\n\u201cRakyat perlu berubah dan tidak boleh berada pada takuk lama. Kita perlu ada percampuran budaya, contohnya dari segi perfileman di Malaysia.\n\u201cKita perlu bersatu padu dalam usaha mencapai matlamat negara berwawasan walaupun berlainan bangsa,\u201d\u00a0kongsinya kepada penonton." "Penduduk Sekitar Kuala Lumpur dan Selangor Terima Agihan 500 Bakul Makanan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Usaha Program CSR Hasil Prihatin diteruskan pada hari ini dengan memberikan\u00a0fokus kepada kelangsungan bekalan makanan dalam kalangan rakyat Malaysia yang benar-benar memerlukan.\nSasaran giliran kali ini ialah penduduk di Bangsar Baru, Kuala Lumpur; daerah Klang, Kuala Selangor; dan Kuala Langat, Selangor menerima bantuan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), serta penduduk setempat.\nSebanyak 200 bakul makanan diagihkan melalui wakil penduduk di Bangsar Baru untuk diserahkan kepada kumpulan sasar yang terjejas disebabkan oleh COVID-19. Penyerahan bakul makanan yang berlangsung di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq,\u00a0Jalan Ara dirasmikan oleh Tuan Haji Mohamad Zain Mohamad Said, Pengarah Negeri Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia\u00a0(LHDNM) Cawangan\u00a0Wilayah Persekutuan\u00a0Kuala Lumpur.\nSementara itu, Tuan Haji Kamarudin Hashim, Pengarah Negeri LHDNM Selangor menyantuni wakil penduduk kawasan daerah Klang, Kuala Selangor dan Kuala Langat, Selangor dalam program penyerahan bakul makanan yang diadakan di First Tower Klang.\nSebanyak 300 bakul makanan diagihkan kepada penduduk melalui wakil. Antaranya, termasuklah YBhg. Dato\u2019 Sri DiRaja Jason Lee Pei Nam mewakili komuniti Cina di Klang, Charles Mohan a/l M. Muthiah wakil NGO Institut Onn Jaafar dan Shanthi Subarayan mewakili Tenaga Kerja RELA.\nMenurut laporan, LHDNM memberikan komitmen sepenuhnya dalam pelaksanaan inisiatif seumpama ini bagi memastikan kebajikan rakyat Malaysia yang terkesan akibat daripada penularan wabak COVID-19 terjaga.\nSehingga kini,\u00a0sebanyak 4555 bakul makanan disumbangkan di bawah Program CSR Hasil Prihatin. Program ini diharapkan dapat diteruskan secara berperingkat pada setiap negeri dalam masa terdekat." "Program CSR Hasil Prihatin\u00a0Tumpu di Sekitar Rawang, Muar dan Segamat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebanyak 500 agihan bakul makanan terus diusahakan kepada penduduk di sekitar kawasan Rawang, Muar dan Segamat melalui Program CSR Hasil Prihatin. Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) terus menzahirkan keprihatinan dalam membantu meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik\u00a0disebabkan oleh tamparan pandemik COVID-19.\nDi Rawang, penyampaian sumbangan bakul makanan berlangsung di Masjid Bandar Tasik Puteri oleh Tuan Haji Mohamad Zain Mohamad Said, Pengarah Negeri LHDNM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sebanyak 300 bakul makanan diagihkan melalui wakil\u00a0penduduk untuk diserahkan kepada penerima yang memerlukan.\nBagi kawasan\u00a0Muar\u00a0pula, sebanyak 200 bakul makanan diagihkan oleh Md.\u00a0Kamal\u00a0Johan, Pengarah Negeri LHDNM Johor kepada wakil surau dan pertubuhan di\u00a0sekitar Daerah Muar dan Segamat untuk diserahkan kepada penerima yang telah dikenal pasti.\nSurau dan pertubuhan yang terlibat dalam program tersebut termasuklah Surau Pengkalan Parit Tiram, Penghulu Mukim Parit Jawa dan Kelab Warisan Prihatin di daerah Muar; dan Pertubuhan Kebajikan Nur Kasih di Segamat. Majlis penyerahan sumbangan ini berlangsung di Dewan Hasil, LHDNM Cawangan Muar, Johor.\nBerdasarkan laporan semasa, sebanyak 5055 bakul makanan telah diagihkan kepada rakyat yang terkesan di bawah Program CSR Hasil Prihatin. Program CSR ini merupakan siri penyampaian sumbangan berupa makanan dan barang keperluan asas yang dilancarkan oleh Kementerian Kewangan dan diharap agar program sebegini dapat diperluas pelaksanaannya ke seluruh negara khususnya untuk membantu golongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19." "Pantau dan Tegur Bahasa demi Kedaulatan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAkta Dewan Bahasa dan Pustaka (Pindaan dan Peluasan) 1995 memperuntukkan tujuan penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa. Seksyen 5 (2) akta tersebut memperuntukkan maksud \u201cuntuk menggalakkan\u201d termasuklah memberikan arahan, ulasan, nasihat, bantuan, bimbingan, latihan atau pengawasan. Sehubungan dengan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai badan pembina dan perancang\u00a0bahasa, sastera dan penerbitan diberi kuasa autonomi untuk melaksanakan tugas membina dan mengembangkan\u00a0bahasa\u00a0kebangsaan di Malaysia.\nDBP telah diamanahkan oleh kerajaan untuk menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu dengan melaksanakan pelbagai program memartabatkan bahasa kebangsaan yang bertujuan untuk memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra rakyat Malaysia, memperkuat kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa kebangsaan, mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa melalui kegiatan kebahasaan dan menjadikan bahasa kebangsaan sebagai satu daripada asas pembinaan negara bangsa dan tamadun bangsa.\nBagi mencapai tujuan tersebut dengan lebih berkesan, pelbagai program kebahasaan, kesusasteraan dan penerbitan telah dilaksanakan untuk memenuhi kehendak pelbagai peringkat masyarakat. DBP telah menjadi sebuah institusi yang bergerak sederap dan selangkah dengan hasrat kerajaan melalui gagasan \u201cKeluarga Malaysia\u201d. Satu daripada usaha asas dan dasar yang mesti diutamakan dalam melestarikan gagasan \u201cKeluarga Malaysia\u201d adalah dengan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia.\nTugas dan peranan DBP semakin berat apabila kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara mengalami beberapa fasa pasang surutnya terutamanya dalam mendepani cabaran globalisasi yang didominasi oleh bahasa Inggeris dan beberapa perubahan pesat berlaku dalam kehidupan rakyat Malaysia khususnya dalam bidang ekonomi, politik, sosial dan budaya.\nPerkembangan ekonomi yang positif juga mendorong kemunculan pelbagai jenis perniagaan. Bagi tujuan mempromosikan perniagaan, media paparan diletakkan di hadapan premis perniagaan supaya masyarakat dapat mengetahui produk yang diniagakan. Hal ini selari dengan dasar bahasa kebangsaan yang menyatakan fungsi bahasa kebangsaan sebagai alat komunikasi dalam iklan, papan tanda, penamaan sama ada dalam bentuk media elektronik mahupun media cetak.\nDalam keghairahan masyarakat merancakkan peluang ekonomi, mereka menjadi rakus sehingga mengabaikan penggunaan bahasa yang baik dan betul. Kesalahan\u00a0dan kecelaruan penggunaan bahasa Melayu pada media paparan seperti papan tanda, papan iklan dan nama jalan di tempat-tempat awam sangat membimbangkan. Dalam hal ini, soal salah atau betul penggunaan bahasa Melayu pada papan iklan premis perniagaan, papan iklan luar, gegantung, kain rentang,\u00a0 mahupun penamaan bangunan dan kediaman bukan menjadi pertimbangan utama peniaga dan pengiklan.\nDalam hal tersebut, mereka hanya mementingkan bahasa yang\u00a0digunakan pada\u00a0visual iklan yang dianggap dapat difahami oleh pelanggan. Justeru, terdapat segelintir peniaga dan pengiklan yang mencampuradukkan bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin atau menjadikannya \u201cbahasa rojak\u201d pada papan premis perniagaan mereka. Situasi ini menimbulkan polemik dan pendebatan dalam kalangan masyarakat dan pemimpin.\nWalaupun tanggungjawab untuk memastikan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul di tempat awam di bawah pihak berkuasa tempatan, DBP tetap melaksanakan dan melipatgandakan usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu. DBP sentiasa mengawasi penggunaan bahasa kebangsaan yang digunakan di sektor awam, sektor swasta dan di tempat awam. Program pemantauan bahasa dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan yang mencakupi papan iklan premis perniagaan, papan iklan luar, gegantung, kain rentang, penamaan bangunan dan jalan, pusat beli-belah dan lain-lain.\nBerdasarkan dapatan pemantauan dan aduan kesalahan bahasa yang ditular oleh khalayak luar, surat teguran akan dikeluarkan kepada pihak yang melakukan kesalahan\u00a0bahasa\u00a0supaya kesalahan tersebut dibaiki. Antara teguran yang pernah dibuat oleh DBP ialah penggunaan nama Jalan Central Spine Road, penggunaan bahasa rojak pada Facebook Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia, penggunaan nama program dalam bahasa Inggeris \u201cMerdeka Community Bonding\u201d oleh Jabatan Penerangan Malaysia dan penggunaan perkataan bahasa Inggeris \u201cExit\u201d pada papan tanda jalan.\nPihak yang mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul pula diberi surat penghargaan. Hasilnya, antara program dan pihak yang mendapat penghargaan daripada DBP termasuklah Segmen Bahasa Melayu melalui Fly FM, Segmen Mawi Jawi (Radio Zayan) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kerana mengarahkan pengiklan menurunkan papan tanda yang mengandungi kesalahan bahasa.\nPemantauan bahasa menekankan dua aspek utama, iaitu tahap penggunaan bahasa\u00a0dan mutu penggunaan\u00a0bahasa. Tahap bahasa\u00a0akan melihat kepada tiga aspek yang berikut, iaitu penggunaan\u00a0bahasa\u00a0kebangsaan sepenuhnya, penggunaan bahasa\u00a0Inggeris dan\u00a0bahasa\u00a0lain sepenuhnya dan penggunaan\u00a0bahasa\u00a0yang bercampur (bahasa Melayu dan bahasa\u00a0lain). Pada peringkat mutu penggunaan\u00a0bahasa pula, aspek yang dipantau ialah ejaan, tanda baca, penggunaan\u00a0bahasa, pembentukan kata, binaan ayat, sebutan (jika berkaitan) dan kesantunan\u00a0bahasa.\nDari tahun 2018 hingga tahun 2020, Bahagian Penguatkuasaan, DBP telah melaksanakan sebanyak 108 pemantauan bahasa kebangsaan di sektor awam, sektor swasta dan di tempat awam. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 72 surat teguran telah dikeluarkan supaya pihak berkenaan membuat penambahbaikan. Selain itu, Bahagian Penguatkuasaan turut melakukan program Ziarah Bahasa kepada agensi yang dipantau untuk membuat teguran dan menjalinkan hubungan kerjasama dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, antaranya termasuklah di Primeworks Studios Sdn. Bhd, Astro Holdings Berhad, Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. dan Ripple Media Prima (Rangkaian Radio Media Prima).\nBahagian Penguatkuasaan juga mengurus Aduan Pengguna Bahasa. Dari tahun 2016 hingga tahun 2021, Bahagian Penguatkuasaan telah menerima sebanyak 41 aduan. Aduan ini diterima melalui e-mel, telefon, surat, aplikasi WhatsApp dan Sistem Pantau Tegur Bahasa. Hasil daripada aduan tersebut, sebanyak 41 surat teguran telah dikeluarkan untuk penambahbaikan dan tiga (3) surat penghargaan diberikan kepada pihak yang menggunakan bahasa Melayu dengan betul, contohnya Ikea.\nSehubungan dengan itu, DBP akan terus kekal relevan dan berperanan dalam mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. Hal ini sejajar dengan Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Tanggungjawab memperkasakan bahasa kebangsaan bukan semata-mata terletak di bahu DBP, malah menjadi tanggungjawab seluruh masyarakat Malaysia termasuklah individu, jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak swasta untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan. Sektor kerajaan seharusnya terus memperhebat dan memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan tanpa meminggirkannya, begitu juga dengan sektor swasta. Keluarga Malaysia juga perlu menanamkan sifat megah akan kebangsaan dan tidak memandang rendah terhadap keupayaan bahasa sendiri." "Rangkaian 5G+ Pemangkin Pelaburan Pendigitalisasi Industri Fizikal\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBerikutan hasrat kerajaan melalui Pelan Infrastruktur Digital Nasional (JENDELA) dan pelaksanaan rangkaian 5G pada akhir tahun 2021, industri fizikal negara kini perlulah melihat pelaburan pada masa depan digitalisasi industri melalui 5G+ sebagai alternatif berhubung dan berinteraksi dengan pengguna dengan lebih signifikan.\nSektor yang memfokuskan perniagaan secara digital, seperti e-dagang, berkemungkinan mampu memimpin transformasi ini. Sebaliknya, tekanan menjadi lebih besar pada industri fizikal, seperti pembuatan, pertanian dan pelabuhan, kerana wabak ini mempengaruhi penurunan aktiviti ekonomi mereka.\n\u201cPada saat ini, industri fizikal perlu memanfaatkan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) dan melihat pelaburan pada masa depan digitalisasi industri melalui 5G+. Bagi mempercepat transformasi digital ini ketika pandemik menyerang, mereka perlu menginovasikan sistem digital dan fizikal untuk untuk kepentingan organisasi,\u201d jelas Pengarah Urusan Malaysia Nokia.\nNokia Bell Labs telah mengenal pasti bahawa rangkaian pemboleh teknologi ekosistem yang memberikan kuasa transformasi pada industri 5G+, ialah rangkaian 5G yang meluas, infrastruktur tepi dan platform awan, sistem kecerdasan dan pembelajaran mesin tambahan, rangkaian peribadi, sensor dan robotik canggih, keselamatan (E2E), dan model perniagaan rangkaian sebagai perkhidmatan.\nMenurut Datuk Rauf, industri fizikal perlu berusaha memperoleh hasil daripada transformasi digital \u00a0pada kelajuan dan skala yang baik dengan pemboleh 5G dan 5G+ yang melengkapkan secara menyeluruh melalui keuntungan Keselamatan, Produktiviti, dan Kecekapan (SPE). Hal ini merangkumi aspek keselamatan, produktiviti dan kecekapan untuk memanfaatkan sepenuhnya keupayaan operasi, di samping membantu mengehadkan gangguan yang tidak dijangka di laman perindustrian.\nWalaupun pelaburan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dijangka menurun ketika wabak ini merebak, maka wujudlah pembangunan inisiatif digitalisasi yang diketuai oleh pemerintah seperti MyDigital Blueprint.\n\u201cUsaha pembangunan ini adalah untuk mempercepatkan pelaksanaan 5G pada akhir tahun 2021, dan sekali gus menjadi tulang belakang pada penyambungan negara ke arah transformasi rangkaian 5G+ secara besar-besaran.\n\u201cKita sudah melihat bagaimanakah sektor yang bergantung secara fizikal merangkumi pemboleh 5G+, misalnya pengeluar sarung tangan terkemuka di negara ini sedang mengembangkan kemudahan pengeluaran canggih yang menggunakan teknologi IoT, sementara syarikat teknologi tempatan memperkenalkan sistem parkir pintar berasaskan IoT untuk membantu mengoptimumkan tempat letak kenderaan awam dan mengurangkan kesesakan lalu lintas,\u201d jelasnya lagi.\nKetika Malaysia berlumba-lumba untuk keluar dari krisis semasa melalui penggunaan digital yang lebih besar, industri fizikal akan berada pada posisi yang lebih baik untuk meningkatkan kelebihan daya saing melalui keuntungan SPE, bahkan setelah menempuh gelombang awal adopsi.\nKeuntungan ini akan diperkuat dengan penerapan 5G+ di seluruh negara. Hal ini sekali gus dapat mewujudkan lebih banyak peluang bagi industri tersebut untuk menyumbang kepada ekonomi dengan kesan yang lebih besar." "Penyata Pra-Belanjawan 2022 akan Diumumkan dalam Masa Terdekat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPulau Carey \u2013 Sebagai persiapan pembentangan Belanjawan 2022 yang dijangka pada akhir Oktober ini, Kementerian Kewangan (MoF) buat kali pertamanya akan mengumumkan Penyata Pra-Belanjawan 2022 untuk merangka kriteria perbelanjaan negara secara keseluruhannya.\nTengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menerajui semula kementerian MoF, akan mengangkat sumpah jawatan tersebut pada esok hari.\nSementara itu, MoF menjemput semua pihak yang berkepentingan, termasuklah ahli parlimen pembangkang dan kerajaan untuk memberikan input masing-masing. Hal ini bertujuan untuk mendapatkan pandangan dari pelbagai sudut bagi membentangkan Belanjawan 2022 yang lebih inklusif untuk rakyat Malaysia.\n\u201cPerancangan belanjawan ini amat penting, \u00a0bukan sahaja melihat dari segi bantuan, malah mengambil kira sebagai panduan kepada ekonomi Malaysia untuk kembali pulih.\n\u201cKami akan merangka beberapa kriteria, satu daripadanya ialah kebajikan. Jemputan akan dikeluarkan secepat mungkin dalam tempoh minggu ini,\u201d kata Menteri Kewangan selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penduduk Orang Asli.\nMengulas lebih lanjut, beliau berkata selain daripada Belanjawan 2022, kerajaan turut membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 di Parlimen.\nAntaranya, termasuklah isu berkaitan dengan pencapaian 100 hari yang ditetapkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri. Fokus pada masa ini ialah menjaga kesejahteraan, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi negara.\n\u201cKami di MoF, menyambut baik inisiatif ini. Penetapan indeks prestasi utama (KPI) ini bagus kerana membolehkan semua kementerian, terutamanya MoF dan rakyat mengukur penyampaian atau pencapaian kerajaan supaya dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan yang memerlukan penambahbaikan,\u201d jelasnya lagi.\nTambahnya lagi, MoF sebelum ini akan mengumumkan pencapaian pada setiap minggu dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) untuk lebih telus dan MoF juga turut menzahirkan 65 laporan LAKSANA sejak tahun lepas.\n\u201cDasar yang baik akan diteruskan, dan pada masa sama perlu mengambil kira perkembangan dunia semasa dan ekonomi Malaysia yang mempunyai ciri-ciri yang dinamik,\u201d ujar Tengku Datuk Seri Zafrul dalam usaha meneruskan legasi dasar kerajaan terdahulu." "LHDNM Bantu Golongan Rentan di Petaling Jaya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya\u00a0\u2013 Penyerahan 315 bakul makanan melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Hasil Prihatin yang diusahakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) masih diteruskan. Kumpulan sasaran pada hari ini ialah penduduk di kawasan Petaling Jaya, Selangor.\nBagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), semua agihan bakul makanan disampaikan melalui wakil penduduk, dan kemudiannya diserahkan pula kepada penerima yang dikenal pasti terjejas akibat pandemik COVID-19.\nProgram ini disempurnakan oleh Tuan Haji Kamarudin Hashim, Pengarah Negeri LHDNM\u00a0Selangor, yang bertempat di Tingkat 20, LHDNM Cawangan Petaling Jaya. Sumbangan bakul makanan diagihkan kepada wakil penduduk, termasuklah\u00a0Wan Mohd Zaid Wan Ismail selaku komuniti di Flora Damansara; Anuar Asmawi (Komuniti Bukit Lanjan) dan Siti Khadijah Samad (Komuniti PPR Kota\u00a0Damansara).\n\u201cSejajar dengan aspirasi kerajaan yang menekankan konsep prihatin dan sentiasa peka\u00a0dalam memelihara kebajikan rakyat, sehingga kini sebanyak 5370 bakul makanan\u00a0disumbangkan kepada golongan rentan dan memerlukan.\n\u201cPelaksanaan program ini akan diteruskan lagi ke seluruh negara dalam masa terdekat dalam usaha LHDNM memastikan rakyat yang kurang berkemampuan tidak diabaikan,\u201d jelas Pengarah Negeri LHDNM Selangor ketika perasmian program tersebut." "FIZIWOO: Sentuhan Seni Adibusana Bertaraf Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nImpak globalisasi mewujudkan limpahan produk berjenama dan saingan sengit antara penggiat industri kreatif sesama sendiri. Pengasas, pereka dan pentadbir fesyen berlumba-lumba memperagakan koleksi rekaan yang eksklusif serta memiliki nilai estetika yang tinggi. Siapakah yang bijak mencipta variasi konsep dan keunikan pada rekaannya tanpa dibatasi oleh sesuatu kaum mahupun budaya, pastinya berjaya menambat hati dan cita rasa pengguna, lebih-lebih lagi penggemar fesyen.\nFesyen ialah satu simbol gaya pemakaian yang menjadi ikutan ramai dan lambang kepada kemodenan.\u00a0Perkembangan fesyen umpama satu gelombang tenaga yang tidak berhenti-henti berputar, sentiasa bergerak, berubah dan berkembang. Dalam erti kata lain, fesyen dipengaruhi oleh masa, kuasa, status dan kedudukan ekonomi seseorang individu, masyarakat dan negara. Penampilan dalam berpakaian merupakan elemen penting untuk menterjemahkan personaliti, bahkan dapat mencerminkan keunikan dalam ketamadunan masyarakat.\nBerdasarkan literatur fesyen, seseorang yang mengikuti trend atau aliran fesyen dikatakan memiliki sifat berani mencuba, sanggup mengambil risiko dan dianggap sebagai individu yang berfikiran terbuka, matang, serta peka terhadap perkembangan baharu di sekeliling mereka. Fesyen bukan sekadar mengekspresikan diri seseorang itu bergerak seiring dengan trend modenisasi, tetapi menunjukkan peri pentingnya industri ini terhadap pembangunan ekonomi negara.\nWalaupun fesyen sering kali dilabelkan sebagai satu budaya hedonisme, namun hakikatnya industri fesyen merupakan satu daripada pemangkin arus ekonomi negara yang pesat. Buktinya, pemilik butik ZARA merupakan antara lima orang usahawan perniagaan yang berjaya dan terkaya di dunia. Selain itu, orang Eropah dilabelkan sebagai antara negara maju disebabkan oleh pengaruh pemakaian mereka yang menunjukkan personalitinya kukuh dan memberikan kepercayaan kepada masyarakat mahupun pelabur luar.\nNamun begitu, kehadiran pandemik COVID-19 mutakhir banyak mengubah landskap kehidupan daripada rakyat marhean sehinggalah kepimpinan tertinggi negara. Tamparan ini turut menimbulkan tekanan dan cabaran besar kepada individu dan organisasi yang terlibat dalam sektor perniagaan, \u00a0khususnya untuk memastikan produktiviti dan kelangsungan perniagaan kekal stabil dalam pasaran. Keadaan menjadi lebih rumit apabila industri kreatif tidak boleh beroperasi sepenuhnya secara fizikal ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan disebabkan oleh sektor ini bukanlah sektor utama (essential) berbanding dengan sektor lain.\nDalam meniti sela masa ini, produk FIZIWOO yang merupakan satu jenama fesyen mewah di Malaysia turut terkesan dan akur pada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan. Namun demikian, peluang dan langkah yang signifikan perlu dilakukan segera agar perniagaan kekal utuh dan berkembang meskipun dalam tempoh yang sukar ini.\nKeputusan mengembangkan medium perniagaan ke platform e-dagang melalui kerjasama dengan FashionValet dan ZALORA, merupakan satu interaksi yang produktif pada masa kini. Kami dapat tawarkan dan berikan yang terbaik kepada pelanggan.\n\u201cWalaupun perniagaan secara fizikalnya mungkin terbatas, namun pemasaran produk masih mampu bergerak aktif dalam talian untuk memasuki pasaran tempatan, bahkan lebih meluas hingga ke pasaran global,\u201d kata Hafizi Radzi Woo selaku Pengasas dan Pengarah Kreatif FIZIWOO ketika diwawancara oleh sidang editor Dewan Ekonomi secara maya.\nSejak penubuhan FIZIWOO pada tahun 2009, jenama ini kian melonjakkan potensinya saban tahun dalam industri fesyen sehingga menjadi perhatian kebanyakan penggemar dan pemerhati fesyen. Beribu pejabat di Jalan Sentul Raya Boulevard, Kuala Lumpur, FIZIWOO giat mempromosi dan memberikan pendedahan baharu kepada masyarakat tentang acuan dunia fesyen.\n\u201cKisah cinta paling hebat ialah perjalanan kehidupan seorang\nwanita dan fesyennya. Kami di sini untuk mengisahkan sebuah\nnovel yang patut dibaca\u201d \u2013 FIZIWOO.\n\nJenama FIZIWOO dikatakan sangat sinonim dengan rekaan mewah yang disulami dengan elemen perincian halus, malah memberikan respon positif terhadap dunia fesyen tanah air kini. Nama FIZIWOO tercetus daripada nama pengasasnya sendiri, iaitu \u201cFizi\u201d (Hafizi) dan \u201cWoo\u201d asalnya daripada nama keluarga.\nPada tahun 2011, FIZIWOO dilihat semakin kompetitif dalam pasaran apabila Hafizi mula berkolaborasi dengan rakannya, Izree Kai Haffiz yang berkemahiran dan pakar dalam bidang seni bina (arkitek). Gandingan duo ini sering menghamparkan kreativiti rekaan yang eksentrik bertepatan dengan jiwa wanita moden pada masa kini. Dua anak muda ini bagaikan melengkapi satu sama lain dalam menyulam impian hingga ke menara gading.\n\u201cPerniagaan kami semakin berkembang daripada sebuah syarikat dua lelaki menjadi jenama fesyen mewah di Malaysia yang menggabungkan pertukangan halus dan pembuatan yang luar biasa untuk menjadi atelier fesyen terkenal seperti sekarang ini,\u201d kata Izree yang merupakan Pengarah Urusan FIZIWOO.\nMenyedari keserasian yang ditampilkan dari segi cara kerja, ideologi dan falsafah dalam bidang seni kreatif ini meskipun berlainan latar belakang pendidikan, mereka percaya dengan gabungan kemahiran seorang fesyen dan arkitek ini mampu menggegarkan industri fesyen tempatan menerusi kekuatan dan keunikan idea rekaan bersama setanding dengan pereka profesional lain.\nBerdasarkan pengagihan skop tugasan, Izree lebih tertumpu kepada hal pengurusan, pemasaran, penjenamaan, strategi dan perancangan perniagaan. Manakala, tugas yang melibatkan rekaan, kajian\u00a0dan produksi produk terletak di bawah tanggungjawab Hafizi. Proses pengurusan menjadi lebih terkawal dan sistematik, malah berkembang pantas disebabkan oleh kebijaksanaan strategi pembahagian tugas yang mampu menjalankan pelbagai kerja secara serentak dan efisien.\nBerkat kesungguhan yang dipraktikkan dalam konteks kerja selama 10 tahun, FIZIWOO berjaya menampilkan pelbagai koleksi rekaan daripada ready-to-wear\u00a0(sedia dipakai), busana tradisonal, busana pengantin sehinggalah busana eksklusif yang diberikan perincian mewah dan kepelbagaian teknik couture pieces.\nSelain itu, FIZIWOO menawarkan perkhidmatan jahitan yang menggunakan teknik manik \u201ctambour\u201d dan sulaman tangan. Teknik ini memberikan kelebihan pada FIZIWOO apabila jarang-jarang diaplikasikan oleh pereka fesyen dalam pasaran tempatan mahupun global kerana melibatkan hasil kerja yang rumit dan peruntukan kos yang tinggi.\n\u201cBerbekalkan minat dan pengalaman yang luas terhadap seni bina dan rekaan, kami terjemahkan idea tersebut kepada bentuk rekaan baju. Walaupun pada dasarnya kelihatan seperti baju kemeja-T, namun di sebalik struktur dan rekaan tersebut mempunyai potongan ceraian dan lapisan yang rumit dan sukar dilakukan oleh pereka lain. Teknik ini memberikan saluran kejayaan kepada FIZIWOO, sekali gus meletakkan jenamanya berkelas tinggi.\nApabila sebut FIZIWOO, pelanggan pasti mencari servis dan tempahan teknik ini. Namun begitu, sasaran pasaran ini agak terhad dan lebih tertumpu kepada golongan elit, seperti golongan ternama (VVIP), kerabat raja, dan juga selebriti yang mahukan sentuhan karya reka jahitan seni halus ini. Walau bagaimanapun, koleksi mampu milik juga ditawarkan dan didatangi dengan variasi saiz, iaitu daripada S hinggalah XXL.\nPenggunaan formula \u201ctiada jalan pintas untuk berjaya\u201d mampu mencorakkan kredibiliti identiti FIZIWOO sebagai pereka fesyen yang bukan mengejarkan populariti semata-mata, tetapi lebih mengamalkan rukun dan budaya kerja profesional yang berkaliber. Bermula dari lakaran, dipindahkan pada fabrik, dijahit sulaman benang, sulaman manik dan jemeki satu persatu menggunakan tangan. Baju yang dihasilkan pula khas mengikut acuan saiz badan sang pemakai. Barang yang digunakan juga sudah tentu berkualiti tinggi untuk memenuhi kehendak pelanggannya. Misalnya, rekaan busana Artisanal Bridal Songket menghidupkan semula siluet tradisional dalam nafas moden kontemporari.\nKeunikan yang dipamerkan jelas membuktikan rekaan FIZIWOO lebih matang dan menyerlah berbanding dengan yang lain, lebih-lebih lagi teknik yang diguna pakai merupakan rekaan yang sangat teknikal dan rumit. Jenama FIZIWOO menjadi terkenal dengan struktur rekaannya berkonsepkan Haute Couture, iaitu menggunakan 80 peratus hasil jahitan tangan, bukannya menggunakan mesin.\nBerbeza dengan syarikat pesaing lain, FIZIWOO tidak mengamalkan konsep \u201cpenajaan\u201d dalam strategi pemasarannya. Setiap perniagaan mempunyai strategi yang berbeza mengikut sasaran pelanggan masing-masing. Izree berkata, perkara ini perlu diambil kira kerana melibatkan pengurusan kos perbelanjaan, seperti pembelian fabrik yang mahal, penglibatan tenaga kerja di belakang tabir (pereka baju, pembuat kain, jurusolek dan pembantu kerja), serta masa yang digunakan.\n\u201cDi negara Hollywood, selebriti yang ingin memakai busana eksklusif dan berjenama dalam sesuatu majlis atau pementasan, mereka perlu membeli dengan wang sendiri dan bukannya daripada penajaan. Sekiranya mahu kelihatan cantik, anda perlu membayarnya,\u201d jelas Izree dalam mengetengahkan potensi pemasaran syarikat pada pasaran global.\nBagi memulihkan semula industri fesyen tempatan dalam tempoh kegawatan ekonomi ini, FIZIWOO tidak memfokuskan pasarannya dalam Malaysia sahaja, tetapi meningkatkan pasarannya ke peringkat antarabangsa. Begitulah pentafsiran perniagaan FIZIWOO. Adaptasi rekaannya juga tidak berlandaskan trend di Malaysia sematamata, namun lebih mempraktikkan trend global kerana bersifat universal. Strategi pemasaran ekosistem yang signifikan ini seharusnya wajar dipuji dan diteladani, terutamanya kepada usahawan tempatan.\nSelain itu, Hafizi turut berkongsi tentang pangkalan pelanggan mereka yang sudah menembusi pasaran antarabangsa, iaitu di Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand dan mempunyai pengikut di UAE (Emiriah Arab Bersatu). Menariknya, koleksi FIZIWOO juga berkembang hingga ke pasaran Eropah, melalui penglibatan dalam pertandingan Minggu Fesyen (Fashion Week) di London, Paris dan New York.\nFIZIWOO juga pernah bekerjasama dengan jenama beg Itali (Save My Bag), Magnum, Neutrogena, [email\u00a0protected], LILIT dan banyak lagi jenama besar dalam pasaran ini. Pencapaian ini merupakan platform terbaik bagi pereka tempatan itu sendiri untuk menonjolkan bakat dan membina peluang pada peringkat antarabangsa. Sasaran pemasaran FIZIWOO yang seterusnya ialah Amerika Syarikat, yang sepatutnya dilancarkan pada tahun ini untuk membuka kedai (multi brand store) di New York, namun terpaksa ditunda sehingga keadaan kembali stabil.\nNew York bukan sekadar terkenal sebagai pusat perniagaan terbesar, malah merupakan kota ikonik bagi fesyen terkemuka dan eksklusif dunia. Setiap pereka fesyen di seluruh dunia mengimpikan koleksinya dipersembahkan pada Minggu Fesyen New York untuk memperkenalkan karya terbaru mereka.\nSeiring dengan kejayaan melalui pengalaman yang luas, FIZIWOO meneruskan agenda untuk bekerjasama dengan GIATMARA dan Kolej Komuniti dalam memainkan peranan penting bagi membina pelapis baharu, khususnya golongan muda dan Bumiputera. Platform ini dapat memberikan pengetahuan dan pendedahan berkaitan dengan penerokaan dunia fesyen untuk melahirkan generasi berkualiti, mempunyai nilai kebolehpasaran, serta membentuk usahawan yang berdaya saing. Generasi inilah bakal menjadi tulang belakang kepada pembangunan ekonomi negara berpendapatan tinggi.\n\u201cBerdasarkan pemerhatian trend pandemik, kami menjangkakan keadaan ini akan berlanjutan dalam tempoh yang lama. Maka, kami mengambil keputusan untuk menghasilkan produk yang lebih ringkas dan selesa, mampu milik dan bersesuaian dengan kebiasaan baharu. Kami perlu sentiasa mengeluarkan produk. Jika tiada produk, FIZIWOO tidak dapat menjana pendapatan yang baik,\u201d kongsi Izree.\nBagi merealisasikan sebuah syarikat dan produk yang bersifat gaya hidup (lifestyle brand) pada masa hadapan, fokus FIZIWOO tidak tertumpu pada baju dan fesyen semata-mata, tetapi menampilkan produk baharu yang lebih relevan dengan situasi semasa. Antaranya, termasuklah pensanitasi tangan dan pelitup muka. Hal ini merupakan satu transformasi pemasaran dalam perniagaan yang tidak pernah dilakukan mahupun dibayangkan oleh pereka duo ini, yang jelas luar daripada bidang fesyen mereka.\n\u201cNamun begitu, COVID-19 banyak menyekat perancangan kami. Sepatutnya, kami sudah mengembangkan perniagaan ini kepada sektor pembuatan perabot rumah atau hiasan dalaman. Bahkan, jika diikutkan dalam tahun ini juga kami mempunyai perancangan untuk mengeluarkan produk kosmetik dan penjagaan kulit, serta banyak lagi yang bersesuaian dengan kehidupan dalam kebiasaan baharu ini,\u201d kata Hafizi.\nMenurut Izree, skop bidang seni secara umumnya sangat luas dan besar. Maka, perkara ini tidak membuat mereka terhenti pada satu aspek sahaja. Pada sudut yang lebih meluas, FIZIWOO sangat berpotensi untuk dikembangkan pada perkhidmatan lain yang mempunyai kaitan dengan aplikasi bidang seni ini.\nDari sudut pembangunan ekonomi pula, kerajaan dikatakan lebih menumpukan sektor industri yang bersifat alam, misalnya gas dan petroleum, balak dan kepala sawit berbanding sektor industri kreatif. Namun begitu, sejauh manakah industri ini yang bersifat alam mampu bertahan? Jika sumbernya habis, sudah tentu tiada gantinya.\nBerbeza dengan negara Eropah, pembangunan ekonomi dilihat kian maju disebabkan oleh sebahagian faktor datangnya daripada sumbangan industri fesyen. Oleh itu, industri Malaysia perlu bergerak ke arah industri yang lebih lestari dalam usaha merancakkan ekonomi negara kembali. Hal ini dikatakan demikian sedikit sebanyak sumbangan industri kreatif mampu menjadi pemangkin kepada pemulihan negara.\nTambah pula, Malaysia merupakan satu daripada negara Muslim yang menjadi rujukan ramai. Berdasarkan kajian ketamadunan sejarah, Malaysia merupakan antara negara yang terawal memperkenalkan \u201cfesyen Muslim\u201d di dunia, dan diikuti oleh Indonesia, UAE dan Eropah. Dalam konteks ini, bertapa pentingnya peranan kerajaan untuk mempertingkatkan kembali industri fesyen secara meluas pada pasaran global.\nMengakhiri sesi wawancara, ganding duo hebat ini berkongsi tentang rahsia kejayaan seseorang usahawan, terutamanya pereka fesyen, perlu mengetahui tujuan dan objektif perniagaan dilakukan, serta pentingnya menimba ilmu tentang keusahawanan.\nJika sekadar ingin populariti, mungkin mereka perlu memilih jalan lain, seperti menjadi penggiat Youtube, Instagram dan lain-lain lagi di platform media sosial. Namun begitu, jika melihat industri fesyen merupakan platform untuk menjana pendapatan, mereka perlu bekerja keras kerana terlalu ramai pesaing dan produk untuk menonjolkan kelebihan masing-masing.\nSeseorang usahawan atau pereka fesyen boleh berjaya dalam industri kreatif sekiranya mereka memahami identiti produk dan penjenamaan sesuatu perniagaan tersebut." "Belanjawan 2022 Tekankan Pemulihan Kesihatan dan Ekonomi Rakyat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Belanjawan 2022 kini memberikan tumpuan secara keseluruhannya untuk memastikan tiada pihak yang layak tercicir, sama ada golongan rakyat mahupun perniagaan, dalam menerima bantuan dan sokongan kerajaan.\nMenurut Kenyataan Pra-Belanjawan 2022 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MoF), pembangunan Belanjawan 2022 ialah berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).\nBelanjawan ini dirangka berdasarkan tiga keperluan utama yang menjadi pemangkin ke arah pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang bakal dibentangkan di Parlimen pada September ini. Tambahan pula, perkara ini turut mengambil kira jangkaan situasi ekonomi daripada kesan pandemik COVID-19.\n\u201cYang pertamanya, program bantuan dan sokongan diteruskan untuk memastikan pemulihan negara rentetan daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap kesihatan awam dan struktur ekonomi, selaras dengan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN).\n\u201cKedua, menentukan kesinambungan dasar. Bantuan untuk menyokong rakyat dan perniagaan agar kekal berdaya tahan dalam menghadapi krisis bagi terus melindungi mata pencarian, kehidupan rakyat dan perniagaan.\n\u201cKetiga, memangkinkan pembaharuan pascapandemik supaya negara mampu bangkit dengan lebih perkasa dan berdaya saing, serta berteraskan pembangunan negara yang lebih terangkum dan mampan,\u201d menurut kenyataan MoF.\nMaka demikian, Belanjawan 2022 akan memastikan langkah pembaharuan dilaksanakan dengan memberikan penumpuan kepada pencapaian SDG, RMK-12 dan WKB2030.\nSementara itu, kerajaan akan menumpukan usaha lain seperti meningkatkan kecekapan sistem penyampaian awam, penekanan unsur alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) dalam perkhidmatan awam, badan berkanun, serta syarikat berkaitan dengan kerajaan.\n\u201cUsaha ini menggambarkan tekad negara untuk membangunkan ekonomi yang lebih lestari dan terangkum, yang akan menjadi daya penarik kepada perniagaan untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi pelaburan utama,\u201d tambah MoF.\nMengulas lebih lanjut, MoF berkata, Belanjawan 2022 akan mengkaji kaedah untuk membina semula ketahanan fiskal negara yang terkesan disebabkan oleh komitmen kerajaan dalam menampung pakej rangsangan dan bantuan untuk rakyat dan perniagaan." "Program CSR Hasil Prihatin: 200 Bakul Makanan untuk Rakyat di Sekitar Cheras\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Hari ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) telah memberikan bantuan sebanyak 200 bakul makanan menerusi Program CSR Hasil Prihatin kepada rakyat yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19 di sekitar kawasan Cheras.\nBantuan bakul makanan tersebut telah disampaikan oleh Encik Mohamad Fauzi Saat, Pengarah Negeri LHDNM Wilayah Persekutuan Putrajaya di Masjid As-Sodiqin, Taman Kobena kepada wakil penduduk untuk diserahkan kepada para penerima yang telah dikenal pasti di sekitar kawasan Cheras, termasuklah penduduk daripada Program Perumahan Rakyat (PPR) Pudu Ulu, Flat Taman Kobena, Flat Taman Pertama dan Flat Sri Sabah.\nProgram ini turut dihadiri oleh Encik Nasruddin Mat Nasir, Pengarah Cawangan LHDNM Cheras, Ustaz Syed Abdullah Syed Nordin, wakil Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Tuan Haji Noor Zakri Nuruddin, Pengerusi Masjid As-Sodiqin.\nProgram CSR Hasil Prihatin ini telah dilancarkan oleh Menteri Kewangan pada 31 Julai 2021 yang lalu sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab sosial LHDNM dalam menyantuni rakyat yang memerlukan bantuan, khususnya golongan yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19. Program ini juga merupakan usaha berterusan LHDNM dalam memberikan sokongan kepada golongan rentan agar mereka tidak berasa terpinggir.\nHingga kini, sebanyak 5 670 bakul makanan telah diagihkan. Usaha ini akan diteruskan oleh semua cawangan LHDNM di seluruh negara sebagai komitmen organisasi tersebut untuk meringankan bebanan segenap lapisan rakyat." "GST Tingkatkan Kestabilan, Luaskan Kutipan Hasil Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u2013\u00a0Menurut kajian daripada firma penyelidikan, MQ Research mengenal pasti bahawa sistem percukaian\u00a0Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)\u00a0dapat meluaskan asas dan kutipan cukai negara.\nKerajaan perlu mengambil kira faktor tempoh yang bersesuaian bagi memperkenalkan semula cukai tersebut. Hal ini sangat penting untuk memulihkan ekonomi negara yang terkesan disebabkan oleh penularan pandemik COVID-19.\nMeskipun begitu, terdapat beberapa tentangan daripada penggiat industri terhadap pengenalan GST pada tahun 2022.\n\u201cPengenalan semula itu boleh dilakukan apabila ekonomi kembali stabil pada tahun 2023 atau 2024 dengan kadar yang lebih rendah, iaitu tiga peratus,\u201d jelas MQ Research dalam satu nota kajian." "Program CSR Hasil Prihatin: LHDNM Hulur Bantuan Bakul Makanan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) meneruskan usaha menyantuni komuniti setempat dengan mengagihkan 401 bakul makanan kepada kumpulan sasar di Kampung Peringat, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 4 September 2021. Di Kampung Peringat, Kelantan, agihan bantuan disempurnakan oleh Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia di Dewan Tun Ghafar Baba, Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan, Padang Kala. Sebanyak 201 bakul makanan diserahkan kepada wakil-wakil penduduk yang kemudiannya akan diagihkan kepada para penerima yang telah dikenal pasti dan terdiri daripada masyarakat Melayu, Cina dan Siam. Turut hadir pada program tersebut ialah Datuk Mohd. Jaafar Embong, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDNM dan Encik Kamarudzaman Bahrain, Pengarah Negeri LHDNM Terengganu/Kelantan.\nSelain di Kelantan, Program CSR Hasil Prihatin pada hari tersebut turut diadakan di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati, Kuala Lumpur. Senator Tuan Haji Idris Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut berkesempatan menyerahkan 200 bakul makanan kepada Datuk Roslan Haji Madon, Pengerusi Masjid Salahuddin Al-Ayyubi dan wakil-wakil penduduk untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan. Turut hadir dalam program tersebut ialah Datuk Haji Mohd. Ajib Ismail, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Tuan Haji Mohamad Zain Mohamad Said, Pengarah Negeri LHDNM WP Kuala Lumpur.\nSebagai sebuah agensi kerajaan persekutuan, LHDNM akan terus memberikan komitmen dalam menjamin kesejahteraan rakyat di seluruh negara melalui pelaksanaan Program CSR Hasil Prihatin ini. Buktinya, sehingga kini sebanyak 5870 bantuan bakul makanan telah diagihkan khususnya untuk rakyat yang terjejas dengan penularan wabak COVID-19." "Gandingan Duo Mendominasi Seni Fesyen dalam Menyulami Impian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nAntara 10 Pereka Paling Berpengaruh\ndan Berbakat Besar di Malaysia\nTidak mustahil daripada angan-angan dan impian, kini berjaya direalisasikan sebagai kerjaya utama dalam kehidupan untuk menjana pendapatan. Pertemuan antara dua orang sahabat, yang seorang daripadanya buta warna dan seorang lagi sifatnya yang mementingkan kesempurnaan dan skeptis, dikatakan bagaikan satu keajaiban yang dinamik dan saling melengkapi.\nGandingan duo antara Hafizi Radzi Woo (Hafizi) dengan Izree Kai Haffiz (Izree) yang berlainan latar belakang pendidikan, tidak disangka-sangkakan berjaya menggegarkan industri kreatif tanah air sebagai pereka fesyen yang terkenal. Malahan, sekali gus membuktikan kekurangan yang dimiliki mampu menjadi sandaran pada kekuatan diri masing-masing. Buktinya, jenama FIZIWOO di bawah naungan mereka kini bukan sekadar menjadi sebuah atelier fesyen terkenal di Malaysia, bahkan pasarannya sudah menembusi industri fesyen antarabangsa.\n\nDilahirkan pada tahun 1989 di Pulau Pinang, sejak kecil lagi\u00a0kehidupan Hafizi sudah dikelilingi oleh fabrik dan pembuatan\u00a0fesyen. Bapa Hafizi seorang pegawai polis dan ibunya pula seorang\u00a0tukang jahit yang memiliki sebuah butik pakaian. Bermula daripada\u00a0sekadar niat ingin membantu ibunya menyiapkan tempahan baju\u00a0telah bertukar menjadi minat untuk mempelajari ilmu berkaitan\u00a0dengan seni jahitan dan fesyen dengan lebih mendalam.\nSeni jahitan ini sebenarnya menarik untuk diketahui dan dipelajari kerana setiap jahitan mempunyai seni halus yang memerlukan kemahiran, ketelitian dan penjiwaan yang mendalam. Saya mula belajar menjahit secara teknikal melalui pemerhatian, penyesuaian teknik sulaman tangan dan cara ibu saya berinteraksi dengan pelanggannya di butik.\nUsai menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen di Universiti Teknologi MARA Shah Alam, pendedahan pengalaman yang ditimba dalam bidang seni ini menonjolkan lagi bakat dan kemahirannya pada peringkat yang lebih tinggi. Pada seusia 21 tahun, Hafizi sudah pun menempa nama dalam industri kreatif. Hafizi dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan Piala Seri Iman 2010 bagi anugerah reka cipta fesyen batik di Terengganu, walaupun ketika itu beliau merupakan peserta yang paling muda.\n\u201cKemenangan ini memberikan makna yang besar dalam hidup\u00a0dan membuatkan saya tekad untuk menceburi bidang seni fesyen\u00a0ini. Saya percaya bahawa jiwa dan bakat yang dianugerahkan ini\u00a0membuka jalan kepada kerjaya saya yang lebih jelas untuk menjadi\u00a0seorang pereka terkemuka di negara ini kelak,\u201d kongsinya lagi.\nKemampuan diri Hafizi ini membuka mata ramai masyarakat bahawa masalah \u201cbuta warna\u201d bukanlah satu penghalang untuk berjaya dalam hidup. Walaupun pada hakikatnya, penggunaan warna merupakan antara satu daripada faktor penting dalam corak pembangunan seni fesyen. Namun begitu, Hafizi mampu menguasai kekurangan dirinya dengan bijak. Kejayaan ini membawa kematangan kepada diri Hafizi dalam dunia industri, dari segi pemikiran, persaingan, percaturan dan peluang untuk lebih maju pada masa hadapan.\n\nBerbeza pula perjalanan kisah hidup Izree. Dalam usaha\u00a0mengasah bakat dan minatnya terhadap karya seni kreatif, beliau\u00a0berhasrat untuk meletakkan bidang seni ini sebagai satu kerjaya\u00a0hidupnya, namun sebaliknya mendapat tentangan daripada keluarga.\u00a0Anak muda yang dilahirkan di Kuala Lumpur pada tahun 1987\u00a0merupakan seorang pelajar cemerlang dalam pendidikannya. \nKai\u00a0berjaya merangkul semua gred A dalam subjek yang diambil. Oleh\u00a0itu, keputusan cemerlang ini mendorong harapan dan impian yang\u00a0tinggi daripada keluarganya yang berpendapatan sederhana untuk\u00a0melihat Kai berjaya menjadi seorang profesional dalam bidang sains.\nBagi menghormati harapan ibu bapa saya, dan pada masa yang sama tetap ingin menceburi bidang seni kreatif, maka saya memilih melanjutkan pengajian di universiti dalam bidang seni bina (arkitek). Antara sebabnya ialah bidang ini merupakan tempat atau pertemuan yang menggabungkan kedua-duanya, antara seni dengan alam saintifik.\nSemasa melanjutkan pengajian (Ijazah Seni Bina Arkitek) di Universiti Teknologi Malaysia Skudai, Johor, saya juga turut bekerja sambilan dalam pelbagai projek bersama-sama pensyarah saya untuk menjana pendapatan tambahan. Pensyarah saya yang berasal dari Itali ini merupakan antara 50 orang arkitek yang popular di dunia. Maka, dari situlah saya mendapat peluang untuk melibatkan diri dalam pelbagai projek mahupun pertandingan, terutamanya pada peringkat antarabangsa, seperti mereka bentuk hiasan dalaman, mereka perabot, penjenamaan korporat, fotografi dan banyak lagi,\u201d ujarnya lagi.\nMenurut Kai, hampir semua perkara sudah diterokai, namun\u00a0tidak pernah berpeluang melibatkan diri dalam bidang seni fesyen\u00a0sehinggalah berjumpa dengan Hafizi. Sepanjang tempoh perkenalan\u00a0tersebut, minatnya terhadap bidang fesyen kian meningkat saban hari\u00a0apabila mereka berdua sering berkongsi ideologi berkaitan dengan karya\u00a0seni kreatif. Malah, Kai sering membantu dan memberikan pendapat\u00a0terhadap pengawalan kualiti hasil rekaan Hafizi, serta turut menyertai\u00a0pertandingan dan majlis fesyen bersama.\nMelihat peluang daripada kemenangan yang diraih bersama,\u00a0gandingan duo lelaki ini tekad untuk membuka perniagaan fesyen\u00a0pada tahun 2011 sebagai fokus utama kerjaya untuk menjana sumber\u00a0pendapatan yang lebih stabil. Jenama FIZWOO yang diusahakan oleh\u00a0mereka, kini tidak asing lagi dalam industri fesyen tempatan sehingga\u00a0dilabelkan pereka yang terkenal dengan kebolehan mereka sebuah\u00a0busana yang berkonsepkan siluet unik.\nDari menara gading ke mercu korporat, pelbagai pencapaian dan anugerah yang dikecapi. Walaupun bermula dengan kisah perjalanan yang sederhana, namun peluang yang muncul bertubi-tubi mendorong jenama ini berkembang pantas, setelah banyak menampilkan rekaan yang menarik dan tinggi nilai estetikanya.\nItulah kisah perjalanan sebuah persahabatan yang saling\u00a0melengkapi dan menyokong antara satu sama lain. Bijak merancang dan\u00a0menggunakan kekuatan masing-masing untuk mendominasi bidang seni\u00a0fesyen berjaya mencipta kejayaan yang sungguh bermakna dalam hidup,\u00a0tatkala menyulami bakat dan impian yang hadir sejak kecil lagi." "Bantuan Khas COVID-19 Disalurkan secara Berperingkat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKementerian Kewangan Malaysia (MoF) menyambut baik hasrat kerajaan dalam usaha menghentikan rantaian wabak COVID-19. Bantuan Khas COVID-19 (BKC) dilaksanakan kepada golongan yang terkesan, seperti miskin tegar, B40 dan M40.\nProses pengkreditan BKC\u00a0bagi\u00a0Fasa 1 untuk kategori B40 akan bermula secara berperingkat pada hari ini, 6 September 2021,\u00a0dan\u00a0kategori M40 pula pada 9 September 2021.\nMoF menyarankan golongan yang terkesan agar membuat semakan terlebih dahulu berkaitan dengan syarat kelayakan dan jadual pembayaran BKC." "Mengangkat Darjat Bahasa Melayu di Pentas Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDunia mempunyai lebih daripada 6500 bahasa. Tidak mungkin semua bahasa berkenaan atau semua bahasa negara yang mewakili pertubuhan utama dunia dapat digunakan dalam mesyuarat dan persidangan rasminya. Justeru, beberapa bahasa rasmi perlu ditetapkan untuk digunakan. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dianggotai oleh pelbagai negara anggota yang mempunyai latar belakang bahasa, budaya dan ideologi politik masing-masing.\nPBB mempunyai ibu pejabat di New York dan pejabat utamanya di Geneva, Switzerland; Nairobi, Kenya; dan Vienna, Austria. Sebanyak 193 anggota PBB mewakili warga di seluruh dunia yang menggunakan ratusan kalaupun tidak ribuan bahasa, termasuk bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara terbabit.\nWalau bagaimanapun, PBB hanya mempunyai enam bahasa rasmi untuk tujuan mesyuarat, persidangan dan dokumen rasmi. Dalam persidangan atau mesyuarat rasmi di PBB, wakil negara anggota hendaklah bercakap dan berkomunikasi dalam satu daripada bahasa rasmi berkenaan atau menyediakan interpretasi daripada bahasa yang digunakan dalam satu daripada enam bahasa rasmi itu. PBB kemudiannya menyediakan interpretasi daripada bahasa rasmi itu kepada lima bahasa rasmi lain.\nTidak dinafikan bahawa disebabkan oleh sejarahnya, bahasa Inggeris merupakan bahasa yang paling banyak dituturkan di dunia, iaitu dituturkan oleh 1.132 juta orang. Ini diikuti oleh bahasa Mandarin (1.117 juta), Hindi (615 juta), Sepanyol (534 juta), Perancis (280 juta), Arab (274 juta), Bengali (265 juta), Rusia (258) juta dan Portugis 199 juta.\nKini jumlah penutur bahasa Melayu dalam pelbagai dialek di seluruh pelosok dunia ialah sekitar 300 juta orang. Hal ini menjadikan bahasa Melayu berada dalam kategori tujuh bahasa utama di dunia dari segi jumlah penutur, selain bahasa Arab, Rusia, Sepanyol, Hindi, Inggeris dan Mandarin. Daripada sekitar 7000 bahasa yang dituturkan di seluruh dunia, sebanyak 25 bahasa yang disifatkan sebagai sangat berpengaruh. Yang menariknya, bahasa Melayu disenaraikan di tangga ke-10.\nBukankah kedudukan ini lebih daripada memadai untuk kita berasa bangga dan yakin akan keupayaan bahasa Melayu? Jadi, tidak ada sebab untuk kita bersikap rendah diri di peringkat antarabangsa, sejauh yang berkaitan dengan penggunaan bahasa itu. Baru-baru ini, Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berucap dalam bahasa Melayu pada Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland.\nTindakan beliau itu menerima pelbagai reaksi dengan ada yang memuji dan tidak kurang juga yang mengecam. Kita sudah dapat mengagak bahawa akan ada yang mengkritik dan mengecam. Mereka ini ialah golongan yang berfikir bahawa adalah hina untuk bercakap dalam bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa. Golongan ini\u00a0 menganggap bahawa cuma bahasa Inggeris bahasa yang hebat.\nMereka yang bercakap dalam bahasa Inggeris dianggap bijak dan pintar manakala yang tidak menggunakan bahasa itu sebagai orang yang tidak ada kelas. Tanggapan dan kesendengan pemikiran sedemikian sudah lama bertapak dalam pemikiran golongan tertentu di negara ini, termasuklah dalam kalangan orang Melayu. Hal ini sesuatu yang malang.\nHakikatnya, kepandaian dan penggunaan bahasa Inggeris di peringkat antarabangsa tidak semestinya menggambarkan kepintaran dan keintelektualan seseorang. Ada sebab lain bukan bahasa Inggeris digunakan oleh seseorang wakil negara dalam forum sedemikian, termasuklah keinginan untuk mengangkat darjat bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara. Ya, apakah masalah dan hinanya jika seseorang itu menggunakan bahasa Melayu dalam forum antarabangsa jikalau perkara itu dibenarkan? Seyogia diingatkan, bukan hanya bahasa Inggeris dibenarkan untuk digunakan dalam persidangan itu. Banyak perwakilan lain juga yang menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing.\nDi UNFCCC COP-26, banyak pemimpin negara dunia yang tidak menggunakan bahasa Inggeris ketika berucap, termasuklah Presiden Korea Selatan, Presiden Indonesia, Perdana Menteri India, Perdana Menteri Thailand, Presiden Perancis, Perdana Menteri Kanada dan Canselor Jerman yang menggunakan bahasa mereka sendiri. Menteri dari Malaysia bukan satu-satunya wakil yang tidak menggunakan bahasa Inggeris. Maksudnya, tidak berbahasa Inggeris bukan sesuatu yang aneh atau janggal di pentas antarabangsa.\nSebaliknya, tindakan yang tidak berusaha untuk mengangkat martabat bahasa kebangsaan di pentas antarabangsa adalah sesuatu yang merugikan. Bahasa kebangsaan perlu ditonjolkan di hadapan khalayak dunia bagi memperlihatkan keunikan dan kehebatan bahasa itu.\nMalangnya, segelintir warga siber mengkritik keputusan Tuan Ibrahim menggunakan bahasa Melayu kerana\u00a0 hal ini menunjukkan beliau tidak fasih berbahasa Inggeris. Mereka yang mengkritik tindakan menteri itu menggunakan bahasa kebangsaan jelas tidak mempunyai semangat nasionalisme bahasa dan kebanggaan terhadap bahasa itu.\nMereka yang menyifatkan tindakan menteri itu menggunakan bahasa Melayu sebagai tidak wajar hanya memikir dan menilai perkara itu dari sudut pandangan yang sempit. Komen rakyat Malaysia yang masih mendewa-dewakan atau mengagung-agungkan bahasa asing terutama bahasa Inggeris adalah menjengkelkan. Mereka masih lagi terperangkap dalam kepompong pemikiran yang menganggap bahawa hanya mereka yang mampu berucap dalam bahasa Inggeris ialah orang yang hebat dan pintar. Mereka ini belum lagi dapat membebaskan diri daripada acuan yang ditinggalkan oleh penjajah.\nPerjuangan memartabatkan bahasa perlu dilakukan bukan sahaja dalam negara dan di rantau ini tetapi juga pada peringkat antarabangsa. Persidangan dan forum antarabangsa termasuklah di PBB ialah tempat dan kesempatan terbaik untuk melakukannya. Justeru, semua pihak perlu menyokong dan menyambut baik keputusan yang diambil oleh Tuan Ibrahim itu yang menyampaikan kenyataan negara dalam bahasa Melayu selama sekitar tiga minit. Tindakan menteri terbabit bukan sahaja berani\u00a0 tetapi terpuji sebagai usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu. Kita perlu akui bahawa langkah yang diambil oleh pemimpin itu adalah tepat.\nSebagai rakyat Malaysia, kita perlu bangga bahawa ada pemimpin yang berani dan nekad untuk menggunakan bahasa kebangsaan sekali gus mampu menjunjung martabat dan kedaulatan bahasa rasmi negara. Sehubungan dengan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menghargai usaha Menteri Alam Sekitar dan Air tersebut yang berucap dalam bahasa Melayu pada persidangan itu. Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menyifatkan ucapan Tuan Ibrahim berkenaan sebagai lembaran baharu dalam usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN dan digunakan di persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.\nEpisod itu begitu bermakna bagi rakyat Malaysia yang cinta dan bangga akan bahasa Melayu. Kita perlu mempunyai pemimpin yang berani dan yakin untuk mengucapkan diri dalam bahasa kebangsaan di pentas dunia. Inilah cara terbaik untuk mengangkat darjat bahasa kebangsaan di mata dunia. Kalau bukan pemimpin kita yang melakukannya, siapa lagi yang dapat kita harapkan? Kita tidak harus hanya berkokok di kampung halaman. Pentas terbaik untuk memperlihatkan keupayaan dan martabat bahasa kebangsaan ialah di pentas dunia.\u00a0 Inilah yang telah dilakukan oleh Tuan Ibrahim. Dan tindakan beliau itu perlu diberi penghargaan, pujian dan sokongan rakyat Malaysia yang cinta dan sayang akan bahasa itu.\n\u00a0\n\u00a0\nDr. Jeniri Amir \u2212 Pengamat bahasa dan penganalisis politik yang merupakan Felow Kanan Majlis Profesor Negara." "MDEC Digesa Segerakan Proses Kelulusan Geran, Bantuan PKS Digital\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2013 Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) diarahkan menyegerakan proses kelulusan geran dan bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digital.\nMenteri Komunikasi dan Multimedia, YBhg. Tan Sri Annuar Musa berkata, dana sebanyak lebih daripada RM40 juta yang diperuntukkan sebelum ini mesti diluluskan pada tahun ini.\n\u201cSaya tekankan supaya setiap permohonan mesti diproses dan dibuat keputusan dalam tempoh tidak lebih daripada 60 hari,\u201c jelas beliau menerusi perkongsian dalam media sosialnya pada Selasa lalu.\nPada 6 September 2021, beliau bersama-sama beberapa orang pegawai kanan dari KKMM mengadakan perbincangan bersama-sama MDEC.\nAntara perkara yang dibincangkan termasuklah usaha menyediakan ekosistem digital yang selari dengan keperluan semasa. Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz yang baru dilantik 1 September lalu." "MoU antara SME Bank dengan SDB Memfokuskan PKS Sabah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKOTA KINABALU \u2013 Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, pada hari ini, menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Bank dengan Sabah Development Bank Berhad (SDB) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif SDB, Datuk Vincent Pung Yee Kiong. Selain itu, turut diadakan Majlis Penyerahan Surat Niat (Letter of Intent) antara SME Bank dengan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) yang juga diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail dan Timbalan Yang Di-Pertua MUIS, Ustaz Malai Ali Malai Ahmad\u00a0 di Menara Kinabalu, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).\nMajlis ini turut disaksikan oleh YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II dan YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah.\nMelalui MoU ini, SME Bank dan SDB telah mencapai satu persefahaman pembiayaan dalam usaha untuk membantu Peniaga Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah, pembiayaan \u201cClub Deal\u201d untuk projek berskala besar, perkongsian sumber antara SME Bank dengan SDB bagi mempromosikan kemudahan pembiayaan serta program pembangunan usahawan yang ditawarkan oleh kedua-dua pihak khususnya dalam sektor pertanian, perindustrian, pelancongan, perdagangan dan aktiviti pembuatan.\nKerjasama antara SME Bank dengan MUIS pula memfokuskan Program Pembangunan Keusahawanan, ISHRAF 2.0 yang diterajui oleh SME Bank. Program ini bertujuan untuk membantu golongan B40 melalui perkembangan perniagaan dan sosioekonomi. Melalui program ini, sebanyak 10 orang usahawan Asnaf Sabah akan dipilih bermula pada Oktober 2021 dan mereka akan diberikan latihan asas keusahawanan dan kewangan.\nSebagai rekod, pada tahun 2020, Program ISHRAF 1.0 berjaya membantu sebanyak 20 orang peserta dengan catatan jualan terkumpul sejak Januari 2020 hingga Jun 2021 berjumlah RM853 701." "Menyimpan Emas atau Wang Kertas?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nImpak pandemik COVID-19 bukan sahaja mengubah landskap sektor ekonomi negara, malah turut mempengaruhi kehidupan seharian masyarakat di dunia. Majoriti rakyat Malaysia berdepan dengan kesukaran untuk menjana pendapatan selain perlu mencari kerja alternatif. Pada masa yang sama, kesan pandemik juga tidak membezakan antara penduduk di bandar mahupun di luar bandar. Kehidupan masyarakat di negara ini semakin meruncing apabila berlaku peningkatan kes harian COVID-19 sehingga mencecah 20 000 kes bermula pada Ogos lalu. Gerakan \u201cBendera Putih\u201d umpamanya sudah cukup menggambarkan kesempitan yang dialami oleh sesetengah pihak dalam menongkah arus pandemik demi kelangsungan hidup masing-masing.\nAset dan wang tunai menjadi perkara penting yang dicongakkan pada setiap masa sepanjang diuji dengan COVID-19 sama ada bagi mereka yang berada dalam golongan B40, M40 mahupun T20. Golongan B40 sentiasa berjuang untuk memenuhi keperluan hidup, lebih-lebih lagi ketika pandemik ini. Golongan M40 juga dikatakan \u2018turun taraf\u2019 ke B40 apabila mereka yang sebelum ini memperoleh pendapatan selesa terpaksa diberhentikan terutamanya golongan yang terlibat dengan industri pelancongan, perhotelan dan syarikat penerbangan. Golongan T20 juga boleh \u201cturun takhta\u201d ke B40 apabila diisytiharkan muflis akibat perniagaan yang diusahakan mereka terjejas teruk. Oleh hal yang demikian, simpanan aset dan tabungan wang merupakan perkara terpenting dalam tempoh pandemik ini.\nDuit dan Emas\nDuit (wang kertas) atau emas merupakan harta yang bernilai dan berfungsi sebagai asas mata wang. Emas merupakan logam terawal yang pernah dijadikan mata wang rasmi. Kronologi mata wang dunia bermula dengan sistem wang token, iaitu daripada logam emas dan perak sebagai alat pertukaran yang berlangsung sebelum tahun 1870. Sistem ini tidak dapat dikekalkan kerana simpanan emas hanya meningkat apabila hasilnya boleh didapati daripada perlombongan. Selepas itu bermulalah penggunaan sistem mata wang emas dan wang kertas apabila wang kertas boleh ditebus dengan emas pada kadar yang ditetapkan. Bermula pada tahun 1971 tiada lagi sandaran emas dalam sistem mata wang dunia dengan pelaksanaan sistem apungan (wang fiat). Penggunaan wang kertas sebagai mata wang asas berkekalan sehingga ke hari ini.\nPerbezaan utama emas dengan wang kertas didapati dari sudut nilai terkandung. Emas mempunyai nilai intrinsik, iaitu zat kepada emas itu sendiri. Berat dan ketulenan emas merupakan asas bagi perkiraan nilai. Berbeza daripada wang kertas yang diberi nilai melalui percetakan nombor di atas kertas berdasarkan digit 1, 5, 10, 20 dan 100. Wang kertas terdedah kepada risiko kejatuhan nilai disebabkan inflasi dan kejatuhan ringgit. Manakala emas pula terjamin dari sudut nilainya dalam jangka masa panjang. Simpanan emas juga mempunyai risiko turun naik harga, namun untuk tempoh jangka panjang, emas mampu memegang nilai dan berkemungkinan besar memberikan pulangan simpanan yang lebih tinggi. Konsep asas ini perlu difahami supaya simpanan kita lebih terjamin dan selamat.\nKesan Inflasi\nSecara purata, kadar inflasi tahunan di Malaysia berjumlah sekitar 2.4 peratus (2014-2018). Pada Julai 2021, kadar inflasi dianggarkan mencecah 4.4 peratus setahun. Hal ini bermaksud, pulangan yang bakal diperoleh mungkin tidak memadai dengan kadar inflasi semasa. Kadar inflasi keseluruhan Malaysia dijangka lebih tinggi dan berada pada paras antara 2.5 peratus hingga 4.0 peratus pada tahun 2021 disebabkan oleh faktor tolakan kos berikutan peningkatan harga minyak dunia. Ketika kadar inflasi meningkat, situasi tersebut akan menurunkan nilai simpanan tetap atau duit simpanan. Keadaan ini agak berbeza daripada emas yang sememangnya dikenali dengan sifat kalis inflasi. Jika dilihat pada purata perkembangan emas tahunan (2014-2018), nilai emas berkembang seiring dengan inflasi pada tempoh yang sama dengan purata 5.3 peratus setahun.\nDengan kata lain, pelaburan dalam Tabung Haji atau Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Nasional terjamin dari sudut nombornya, namun simpanan emas terjamin dari sudut nilainya bagi tempoh jangka panjang. Kenyataan ini dilihat bersesuaian dengan nasihat pakar kewangan, Tuan Azizi Ali, yang menyatakan sebanyak 10 peratus kekayaan mesti disimpan dalam bentuk emas pada setiap masa. Sekiranya terdapat lebihan simpanan, seseorang itu disarankan supaya membuat pelaburan lain. Menyimpan emas mungkin tidak membuatkan seseorang itu kaya-raya dalam tempoh masa yang singkat, namun dengan memiliki emas pastinya dapat melindungi nilai harta kita.\nPenyelesaian Simpanan Emas\nTerdapat dua bentuk simpanan emas yang boleh dipilih, iaitu secara fizikal atau melalui akaun emas. Simpanan emas secara fizikal termasuklah pembelian barang kemas (perhiasan wanita), jongkong emas, bulion, syiling dan juga wafer (bar) emas. Kaedah dan cara penyimpanan emas fizikal ini bergantung pada keupayaan dan kemampuan kewangan individu. Bagi yang kurang lebihan untuk menyimpan, mereka boleh bermula dengan simpanan wang kertas secara konsisten. Sebagai contoh, RM2 sehari atau RM100 sebulan. Selepas beberapa tempoh, simpanan tersebut harus ditukar kepada emas seperti bar emas yang bernilai RM400. Selain itu, masyarakat juga boleh memilih untuk menyimpan syiling dirham (perak) dan boleh menukar kepada syiling dinar (emas) apabila sudah sampai bilangan untuk sekeping dinar emas. Bagi golongan yang berkemampuan, sebaik-baiknya disarankan supaya menyimpan emas dalam bentuk bulion ataupun jongkong yang pastinya memberikan pulangan yang lebih besar. Sebahagian besar masyarakat suka membeli dan menyimpan barang kemas disebabkan bukan sahaja dapat dijadikan simpanan malah boleh dipakai dan digunakan. Perlu dimaklumi bahawa barang kemas dikenakan kos upah (pertukangan) dan wujud peratusan susut nilai sekiranya dijual kembali di kedai-kedai emas.\nManakala simpanan melalui akaun emas patuh Syariah pula boleh dilakukan di beberapa buah bank di Malaysia, antaranya Kuwait Finance House Gold Account-I, Bank Muamalat Gold-i Account, Al-Rajhi Bank Gold-i Account dan yang terkini Maybank Islamic Gold Account-i. Simpanan emas seumpama ini merupakan pilihan yang bijak terutamanya bagi golongan yang tidak berkemampuan untuk membeli emas fizikal. Hal ini dikatakan demikian kerana pembelian dalam akaun emas boleh dibuat dengan harga serendah RM10. Di samping itu, melalui akaun emas ini kita tidak perlu memikirkan tempat penyimpanan dan keselamatan emas tersebut. Segala-galanya diuruskan oleh perbankan tersebut.\nPenipuan Emas dan Barangan Ribawi\nPelaburan emas juga tidak sunyi daripada ancaman penipuan atau scammers. Keadaan ini berlaku disebabkan ketamakan manusia dengan kemewahan dan keuntungan di sebalik nilai emas. Emas dan perak tergolong dalam barangan ribawi. Barangan ribawi telah disebutkan oleh Rasulullah SAW. sebagai barangan yang tidak boleh ditukar dengan barangan yang sama secara berlebihan. Terdapat enam jenis barangan ribawi yang disepakati oleh ulama iaitu emas, perak, tamar, gandum, barli dan garam. Hal ini diambil berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh\u00a0Ubadah bin Thamith\u00a0yang menyatakan :\n\u00a0\n\u0627\u0644\u0630\u064e\u0651\u0647\u064e\u0628\u064f \u0628\u0650\u0627\u0644\u0630\u064e\u0651\u0647\u064e\u0628 \u0648\u064e\u0627\u0644\u0652\u0641\u0650\u0636\u064e\u0651\u0629\u064f \u0628\u0650\u0627\u0644\u0652\u0641\u0650\u0636\u064e\u0651\u0629\u0650 \u0648\u064e\u0627\u0644\u0652\u0628\u064f\u0631\u064f\u0651 \u0628\u0650\u0627\u0644\u0652\u0628\u064f\u0631\u0650\u0651 \u0648\u064e\u0627\u0644\u0634\u064e\u0651\u0639\u0650\u064a\u0631\u064f \u0628\u0650\u0627\u0644\u0634\u064e\u0651\u0639\u0650\u064a\u0631\u0650 \u0648\u064e\u0627\u0644\u062a\u064e\u0651\u0645\u0652\u0631\u064f \u0628\u0650\u0627\u0644\u062a\u064e\u0651\u0645\u0652\u0631\u0650 \u0648\u064e\u0627\u0644\u0652\u0645\u0650\u0644\u0652\u062d\u064f \u0628\u0650\u0627\u0644\u0652\u0645\u0650\u0644\u0652\u062d\u0650 \u0645\u0650\u062b\u0652\u0644\u0627\u064b \u0628\u0650\u0645\u0650\u062b\u0652\u0644\u064d \u0633\u064e\u0648\u064e\u0627\u0621\u064b \u0628\u0650\u0633\u064e\u0648\u064e\u0627\u0621\u064d \u064a\u064e\u062f\u064b\u0627 \u0628\u0650\u064a\u064e\u062f\u064d \u0641\u064e\u0625\u0650\u0630\u064e\u0627 \u0627\u062e\u0652\u062a\u064e\u0644\u064e\u0641\u064e\u062a\u0652 \u0647\u064e\u0630\u0650\u0647\u0650 \u0627\u0644\u0623\u064e\u0635\u0652\u0646\u064e\u0627\u0641\u064f \u0641\u064e\u0628\u0650\u064a\u0639\u064f\u0648\u0627 \u0643\u064e\u064a\u0652\u0641\u064e \u0634\u0650\u0626\u0652\u062a\u064f\u0645\u0652 \u0625\u0650\u0630\u064e\u0627 \u0643\u064e\u0627\u0646\u064e \u064a\u064e\u062f\u064b\u0627 \u0628\u0650\u064a\u064e\u062f\u064d\n\u00a0\n\u201cEmas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, sya\u2019ir (gandum yang lebih rendah kualitinya) dengan sya\u2019ir, kurma dengan kurma, garam dengan garam, pertukarannya harus semisal dan semisal, sama dan sama, tangan dan tangan. Maka jika terjadi perbezaan pada barang-barang ini lakukanlah jual beli kalian selama dilakukan antara tangan dan tangan.\u201d\u00a0[HR. Al-Bukhari dan Muslim dari Ubadah bin Shamit radhiyallahu\u2019anhu, dan lafaz ini milik Muslim]\n\u00a0Hadis ini jelas menerangkan kaedah transaksi barang-barang ribawi untuk mengelak daripada berlakunya riba yang diharamkan. Tiga syarat utama transaksi barangan ribawi, iaitu i)Taqabudh\u00a0(penyerahan) hendaklah berlaku terhadap kedua-dua item jual beli, iaitu harga dan juga barang belian (emas).\niii) kadar pertukaran tersebut perlu sama nilainya.\nSekiranya kita memahami dan mematuhi syarat transaksi barangan riba ini, nescaya seseorang itu dapat mengelakkan diri daripada terjerumus dengan penipuan (scammers). Pembelian atau pelaburan emas memerlukan kewujudan emas fizikal secara tunai dan penyerahan pula perlu berlaku dalam majlis yang telah diaturkan. Keadaan ini tidak memungkinkan berlakunya penipuan kerana pembeli boleh terus memegang emas yang telah dibeli. Penangguhan sama ada pembayaran atau serahan emas juga boleh menutup ruang aktiviti pihak yang ingin mengambil kesempatan. Ketamakan juga dapat dibendung kerana iktinaz (pengumpulan dan simpanan emas yang tidak dibelanjakan di jalan Allah SWT) amat dilarang dalam Islam.\nMasyarakat perlu membudayakan simpanan aset sama ada dalam bentuk duit atau emas agar mempunyai bekalan semasa berlakunya kesulitan yang tidak terjangka. Emas yang disebut dalam al-Quran sebagai satu daripada harta dunia, mempunyai jaminan nilai yang sangat sesuai sebagai simpanan bagi tempoh jangka panjang.\nProfesor Madya Dr. Salmy Edawati Yaacob, Pensyarah kanan di Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM." "Rizab\u00a0BNM Melonjak Naik A.S.$116.3 Bilion\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Setakat 30 Ogos 2021, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat A.S.$116.3 bilion berbanding dengan A.S.$11.3 bilion pada 13 Ogos lalu.\nParas rizab yang lebih tinggi ini dapat mencerminkan, terutamanya peruntukan tambahan Hak Pengeluaran Khas (SDR) kepada Malaysia berjumlah A.S.$5.0 bilion oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).\nPeruntukan SDR ini jelas dapat menyediakan mudah tunai tambahan kepada sistem kewangan global, memperkukuh rizab, meningkatkan keyakinan, dan memperkuat daya tahan ekonomi dunia.\nMengulas lebih lanjut, bank pusat berkata, paras rizab ini memadai untuk membiayai 8.3 bulan import tertangguh dan 1.3 kali jumlah hutang luar negeri dalam tempoh yang singkat.\nKomponen utama rizab antarabangsa ialah rizab mata wang asing (A.S.$103.4 bilion), kedudukan rizab IMF (A.S.$1.4 bilion), SDR (A.S.$6.1 bilion), emas (A.S.$2.2 bilion), dan aset rizab lain (A.S.$3.2 bilion).\nMenurut BNM lagi, aset berkenaan merangkumi emas, tukaran asing dan rizab lain, termasuklah SDR yang berjumlah sehingga RM483.60 bilion, kertas kerajaan Malaysia (RM11.12 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM841.62 juta), pinjaman dan pendahuluan (RM21.77 bilion), tanah dan bangunan (RM4.16 bilion), dan aset lain (RM15.31 bilion).\nModal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar berjumlah RM100 juta, rizab (RM185.35 bilion), mata wang dalam edaran (RM143.84 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM143.44 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM13.43 bilion), deposit lain (RM8.73 bilion), kertas Bank Negara (RM7.87 bilion), peruntukan SDR (RM28.84 bilion), dan liabiliti lain (RM5.2 bilion)." "India Kurangkan Cukai Import Minyak Sawit\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNew Delhi \u2013 Bagi menangani isu inflasi makanan, India mengambil langkah untuk menurunkan cukai import minyak sawit bagi menstabilkan harga minyak masak pengguna pada peringkat tempatan\nMenurut laporan media, Economic Times\u00a0berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menurunkan duti semasa minyak sawit mentah (MSM), minyak kacang soya dan minyak bunga matahari kepada 24.75 peratus daripada 30.25 peratus pada masa ini.\nHal ini demikian kerana inflasi pengguna India dijangka meningkat susulan daripada kos bahan api pengangkutan dan harga minyak masak.\nHal ini merupakan langkah awal bagi menangani kadar inflasi makanan dan memastikan harga kekal terkawal ketika musim perayaan.\n\u201cPada Jun lepas, kerajaan bertindak menurunkan cukai import MSM kepada 10 peratus daripada 15 peratus bagi tempoh tiga bulan, mengurangkan duti berkaitan termasuklah levi pertanian dan kebajikan sosial kepada 30.25 peratus daripada 35.75 peratus.\n\u201cSementara itu, pada bulan sama, kerajaan turut bertindak membenarkan import minyak sawit bertapis yang berkuat kuasa sehingga akhir Disember ini,\u201d kata kenyataan media itu memetik daripada sumber rasmi.\nMenurut Kementerian Pertanian, India mengimport sejumlah 13.35 juta tan minyak makan dengan 12.47 juta tan dihasilkan pada peringkat domestik pada tahun fiskal 2020 hingga 2021.\nMinyak masak dari Malaysia dan Indonesia merupakan penyumbang besar sumber import minyak masak pada India." "Memperkukuh Amalan Tadbir Urus Korporat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIstilah tadbir urus korporat agak janggal buat syarikat di Malaysia sebelum berlakunya krisis kewangan Asia pada tahun 1997/1998.\u00a0 Istilah ini mula digunakan secara kerap apabila kebanyakan syarikat di negara ini dikatakan tidak mengamalkan tadbir urus korporat yang baik sehingga menyebabkan mereka terpaksa gulung tikar ekoran krisis kewangan Asia 1997/1998. Berpunca daripada serangan spekulator mata wang asing ke atas mata wang negara-negara Asia, termasuklah mata wang Malaysia, banyak syarikat tidak mampu bertahan lama ekoran bebanan hutang yang berlipat ganda berbanding dengan sebelum krisis \u00a0kewangan Asia 1997/1998.\nKegagalan banyak syarikat di Malaysia termasuklah yang disenaraikan di Bursa Malaysia (dahulu dikenali sebagai Bursa Saham Kuala Lumpur-BSKL) menyebabkan banyak pihak menyatakan antara faktor kegagalan syarikat-syarikat di Malaysia pada ketika itu disebabkan kelemahan tadbir urus korporat. Saham-saham syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia mengalami kejatuhan yang teruk. Nama-nama syarikat yang sangat dikenali pada suatu ketika dahulu ada yang sudah tidak lagi disebut pada masa ini. Kebanyakan usahawan yang dahulunya nama mereka cukup sinonim dalam sektor keusahawanan dan korporat Malaysia tenggelam begitu sahaja. Begitulah penangan dahsyat krisis kewangan Asia 1997/1998 ke atas ekonomi Malaysia amnya dan syarikat-syarikat serta usahawan di Malaysia khasnya pada waktu tersebut.\nAtas alasan tersebut, kerajaan dan penggiat industri berganding bahu dan berusaha untuk memartabatkan amalan tadbir urus korporat yang baik terutamanya dalam kalangan syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.\u00a0 Usaha ini jelas kelihatan apabila wujudnya Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia yang pertama pada tahun 2000.\u00a0 Syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia mula menitikberatkan amalan tadbir urus korporat yang baik. Kebaikan amalan tadbir urus korporat yang baik mula dirasai oleh syarikat-syarikat di Malaysia meskipun pada ketika itu ekonomi Malaysia baru sahaja pulih daripada kesan krisis kewangan Asia 1997/1998.\u00a0 Syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia sudah tentu terpaksa menyerap kos untuk melaksanakan amalan tadbir urus korporat yang baik seperti yang dinyatakan oleh Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia pada tahun 2000.\nKesan daripada krisis kewangan Asia 1997/1998 yang masih terasa dan pada masa yang sama syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia pula disarankan untuk mengamalkan tadbir urus korporat yang baik menyebabkan mereka terpaksa menyerap kos untuk melaksanakan tadbir urus korporat yang disyorkan oleh Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia tahun 2000. Pada awalnya syarikat-syarikat tersenarai awam sukar untuk mematuhi sepenuhnya perkara yang dinyatakan dalam Kod Tadbir Urus Korporat pada tahun 2000.\nApabila syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia mula menunjukkan kesan positif selepas mempraktikkan amalan tadbir urus yang baik, penggiat industri mula memahami betapa pentingnya mengamalkan syor-syor dalam Kod Tadbir Urus Korporat pada tahun 2000.\u00a0 Kebaikan ini mula diterjemahkan apabila setiap pihak dalam syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia mula memahami peranan mereka masing-masing termasuklah ahli lembaga pengarah syarikat, jawatankuasa audit, pengerusi lembaga pengarah, ketua pegawai eksekutif dan para juruaudit.\nPada tahun 2007, sekali lagi pihak berkuasa melancarkan Kod Tadbir Urus Korporat yang \u00a0disemak semula agar bersesuaian dengan keadaan semasa. Sekitar tahun 2006 hingga 2007, terdapat beberapa kes skandal korporat di Malaysia melibatkan syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia. Pada ketika itu, isu skandal korporat tertumpu pada syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.\nTumpuan diberikan ke atas peranan jawatankuasa audit yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal perakaunan, kewangan dan pengauditan syarikat. Isu kebebasan jawatankuasa audit juga ditekankan pada masa ini selain daripada kepakaran mereka dari segi kewangan. Kedua-duanya cukup penting kerana memberikan kesan terhadap kualiti jawatankuasa audit. Ahli jawatankuasa audit sewajarnya bebas dan juga memiliki kepakaran dalam aspek kewangan. Bebas itu bermaksud mereka dapat membuat keputusan tanpa tekanan daripada mana-mana pihak terutamanya dari dalam syarikat itu sendiri.\nPada tahun 2012 dan \u00a02017, sekali lagi Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia dilancarkan.\u00a0 Kedua-kedua kod ini memainkan peranannya yang tersendiri. Tujuannya adalah untuk meningkatkan kualiti piawaian tadbir urus korporat di Malaysia melibatkan syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.\u00a0 Pada tahun 2017, pihak berkuasa mula mementingkan aspek pelantikan wanita dalam kalangan ahli lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi. Hal ini amatlah ditekankan kerana golongan wanita juga sewajarnya dibawa ke peringkat pengurusan tertinggi syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia. Mereka tidak boleh sekadar menjadi pekerja sokongan semata-mata, namun perlu diangkat ke peringkat yang lebih tinggi, iaitu sebagai ahli lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi syarikat. Tiada sesiapa yang boleh menafikan peranan wanita yang semakin penting dalam dunia korporat kini.\nTidak terhenti setakat tahun 2017, sekali lagi pada tahun ini, iaitu pada 28 April 2021 Kod Tadbir Urus Korporat tahun 2021 telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Hal ini bermaksud Malaysia telah mengeluarkan lima edisi kod tadbir urus korporat dalam tempoh 21 tahun selepas buat pertama kali dikeluarkan pada tahun 2000. Kod Tadbir Urus Korporat 2021 meneruskan agenda kod-kod tadbir urus korporat sebelum ini, antaranya melibatkan aspek pelantikan wanita dan penubuhan jawatankuasa pengurusan risiko.\u00a0 Malah, pada kali ini hal-hal tentang kemapanan dan kelestarian syarikat juga ditekankan agar ahli lembaga pengarah benar-benar mengetahui tanggungjawab mereka untuk mentadbir urus risiko-risiko dan peluang-peluang kemapanan dan kelestarian dalam usaha menyokong strategi dan kejayaan syarikat. Pengurusan tertinggi syarikat juga perlu mengambil berat tentang hal ini.\nPengurusan risiko semakin ditekankan dalam kalangan syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia. Terdapat syarikat-syarikat tersenarai awam menubuhkan jawatankuasa pengurusan risiko pada peringkat ahli lembaga pengarah bagi membolehkan risiko-risiko untuk dikenal pasti, dinilai dan seterusnya dipantau agar tidak memberikan kesan yang negatif kepada syarikat. Oleh sebab itu, tidak mustahil risiko-risiko ini diterjemahkan dan ditukar dalam bentuk yang positif agar dapat memberikan manfaat kepada syarikat terbabit. Sudah tentulah hanya pihak yang pakar dalam hal ehwal pengurusan risiko dapat melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan baik dan berkesan.\nKod Tadbir Urus Korporat tidak akan terhenti setakat ini kerana kod baharu dijangka digubal pada masa akan datang supaya asas tadbir urus korporat diperkukuh dalam kalangan syarikat-syarikat tersenarai awam sehingga mampu berada pada tahap yang cemerlang setanding dengan syarikat-syarikat antarabangsa.\n\u00a0\nProfesor Madya Dr. Rohami Shafie, Pengarah Institut Kajian Strategik dan Pembangunan Perakaunan Mampan (ISSAD), Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM)." "RON97 Naik RM2.73 Seliter Mulai Esok\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR- Harga runcit petrol RON95 dan diesel masih kekal, manakala RON97 naik kepada RM2.73 seliter mulai 9 hingga 15 September 2021. Harga RON95 didapati kekal pada harga RM2.05 dan diesel pula RM2.15.\nMenurut kenyataan dari Kementerian Kewangan, kerajaan akan mengawal aliran kenaikan harga minyak global dengan mengekalkan harga siling RON95 pada harga RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter untuk diesel, walaupun berlaku kenaikan harga minyak dalam pasaran dunia.\nKementerian Kewangan dalam kenyataannya memaklumkan bahawa harga yang ditetapkan tersebut berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan dengan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).\nBagi melindungi pengguna daripada peningkatan harga minyak, kerajaan mengekalkan harga siling RON95 dan diesel walaupun harga pasaran bagi kedua-dua produk itu sudah meningkat, iaitu melebihi harga siling yang ditetapkan.\nKementerian Kewangan turut menyatakan bahawa kerajaan akan terus memantau trend harga minyak mentah dunia dengan mengambil langkah yang sewajarnya bagi menjamin kesejahteraan dan kebajikan rakyat." "LHDNM Terus Santuni Golongan Terjejas di Melaka dan Pahang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u00a0Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM)\u00a0masih meneruskan misi bantuan COVID-19 kepada golongan rentan di Melaka dan Temerloh, Pahang berikutan kesan penularan wabak COVID-19.\nSebanyak 950 bakul makanan\u00a0telah diagihkan kepada kumpulan sasar ini melalui Program CSR Hasil Prihatin.\nProgram CSR Hasil Prihatin merupakan satu manifestasi komitmen tanggungjawab sosial LHDNM terhadap masyarakat, khususnya golongan yang amat memerlukan demi kelangsungan hidup dalam tempoh yang mencabar ini.\nDi Melaka, sebanyak 750 bantuan bakul makanan telah disampaikan oleh Puan Zubaidah Hamzah, Pengarah Negeri LHDNM Negeri Sembilan/Melaka kepada wakil penduduk. Program ini berlangsung\u00a0di Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Melaka Tengah, Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Jasin, Pusat Islam Melaka, Majlis Agama Islam Melaka dan Menara Hasil Melaka.\nSementara itu, program CSR Hasil Prihatin turut berlangsung di Temerloh, Pahang, melalui kerjasama Masjid Taman Temerloh Jaya dan Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Penyayang Daerah Temerloh (PSKPDT). LHDNM telah mengagihkan sebanyak 200 bakul makanan kepada penduduk di sekitar Temerloh, Mentakab, Kuala Krau, Lanchang dan mukim berhampiran dengan kawasan tersebut." "Sikap dan Pendekatan Mampu Memulihkan Ekonomi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR- Melalui pendekatan perniagaan dan langkah konstruktif kerajaan, selain sikap komuniti perniagaan dan rakyat, ekonomi negara dijangka pulih dan membangun semula dengan lebih baik, demikian menurut pandangan Pengerusi Majlis Penasihat Kelab Ekonomi Kuala Lumpur (ECKL), YBhg. Tan Sri Abdul Wahid Omar.\nBeliau yang juga Pengerusi Bursa Malaysia menjelaskan, pasaran modal negara pulih dengan ketara pada\u00c2\u00a0 Ogos 2021 dengan dana asing muncul sebagai pembeli bersih buat pertama kalinya sejak Jun 2019 dengan aliran masuk bersih sebanyak RM1.1 bilion. Pada masa yang sama, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 7.1 peratus dari bulan ke bulan dan berakhir dengan jumlah 1601 mata pada bulan yang sama.\n\u201cPeningkatan ini sebahagiannya disokong oleh keuntungan korporat yang berdaya tahan pada suku kedua tahun 2021 dan meningkat sebanyak 113 peratus berdasarkan penyelidikan Maybank,\u201c tambah beliau semasa berucap pada majlis Sidang Kemuncak Pemulihan Negara anjuran Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik.\nBeliau berpandangan bahawa sentimen positif turut dilihat dalam pasaran bon Malaysia dengan pegangan asing meningkat sebanyak RM6.6 bilion pada Ogos 2021, lantas menjadikan aliran masuk bersih setakat tahun ini berjumlah sebanyak RM24.6 bilion." "BNM Mengekalkan OPR pada Kadar 1.75 Peratus\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u2013 Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada kadar 1.75 peratus.\u00a0MPC menyifatkan pendirian dasar monetari itu ialah wajar dan akomodatif.\n\nEkoran daripada keadaan pandemik COVID-19 yang tidak menentu, pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.\nLangkah fiskal dan kewangan akan terus mengurangkan kesan ekonomi terhadap perniagaan dan isi rumah, serta memberikan sokongan kepada kegiatan ekonomi.\nBNM terus komited untuk menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan.\nBNM memaklumkan bahawa ekonomi global dilihat terus pulih dengan disokong oleh peningkatan aktiviti perkilangan dan perkhidmatan.\nWalau bagaimanapun, kekuatan pemulihan berbeza\u00a0merentas pelbagai negara terutamanya mengikut liputan pemberian vaksin, pelonggaran langkah-langkah pembendungan dan tahap sokongan dasar.\n\u201cNegara\u00a0yang mencapai kemajuan lebih baik dalam pelaksanaan program pemberian vaksin COVID-19 telah dapat melonggarkan langkah\u00a0pembendungan dan membolehkan aktiviti dalam negeri terus pulih.\n\u201cRangsangan fiskal dan monetari yang besar di beberapa negara maju terus menyokong momentum pemulihan. Keadaan kewangan juga kekal menyokong pertumbuhan,\u201d ujarnya.\nSecara keseluruhan, BNM menjelaskan bahawa imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan global cenderung ke arah pertumbuhan menjadi lebih perlahan disebabkan oleh ketidakpastian berhubung dengan perkembangan pandemik.\nSituasi itu turut disumbang berikutan kemunculan varian COVID-19 yang membimbangkan dan potensi risiko volatiliti pasaran kewangan yang ketara susulan perubahan dasar monetari ekonomi utama.\nBagi ekonomi Malaysia pula, BNM memaklumkan pelaksanaan semula langkah pembendungan di seluruh negara bagi mengekang penularan semula kes COVID-19 telah memperlahankan momentum pertumbuhan.\nPelonggaran yang diberikan secara berperingkat baru-baru ini lebih tertumpu kepada sektor ekonomi untuk kembaliberoperasi, di samping kemampuan syarikat yang lebih tinggi untuk membuat penyesuaian dalam persekitaran operasi baharu dan sokongan dasar yang berterusan, sebahagiannya akan mengurangkan kesan tersebut dan membolehkan ekonomi terus berada pada landasan pemulihan.\n\u201cPada masa hadapan, pelonggaran langkah\u00a0pembendungan dan kemajuan pesat program pemberian vaksin dalam negeri serta pengembangan permintaan global yang berterusan akan menyokong momentum pertumbuhan menjelang tahun 2022,\u201d ujarnya.\nPurata inflasi keseluruhan pada tahun ini ialah 2.3 peratus dengan unjuran antara 2.0 hingga 3.0 peratus.\nMenurut\u00a0BNM, \u00a0inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras dijangka kekal rendah pada purata antara 0.5 hingga 1.5 peratus untuk tahun ini dengan keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.\n\u201cWalau bagaimanapun, prospek ini terus bergantung pada perkembangan harga komoditi global dan langkah-langkah dasar bagi meringankan bebanan kos yang ditanggung oleh orang ramai. Namun, inflasi asas dijangka kekal rendah secara relatif pada tahun 2022,\u201d jelas BNM." "Pantun Meriahkan Konvensyen Pergerakan MIC\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSELANGOR \u2013 Tepukan gemuruh dan siulan hadirin bergema tatkala beberapa orang pemimpin MIC berpantun dalam ucapan masing-masing ketika majlis pembukaan Konvensyen Pergerakan MIC Wanita, Pemuda, Putera dan Puteri Kebangsaan, yang berlangsung di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada hari ini. Lebih menarik lagi apabila hampir keseluruhan ucapan dasar oleh Ketua Putera MIC, S. Padmarajah turut menggunakan bahasa Melayu. Dalam ucapan yang turut diselitkan dengan pantun yang menarik itu, Padmarajah menyentuh isu berkaitan dengan kuota kemasukan pelajar India ke peringkat matrikulasi yang perlu diberi perhatian oleh pihak kementerian.\nSelain Padmarajah, Pon Kogilam yang mewakili Puteri MIC juga menyelitkan pantun dalam ucapan dasarnya yang menggesa parti itu memberikan ruang kepada wanita untuk dipilih sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang. Sementara itu, Ketua Wanita MIC, J. Usha Nandhini juga menyelitkan pantun dalam ucapannya yang menggesa kerajaan agar segera membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) gangguan seksual berikutan peningkatan kes gangguan seksual yang berlaku belakangan ini. Walau bagaimanapun, Ketua Pemuda MIC, Thinalan T. Rajagopalu tidak pula berpantun dalam ucapan dasarnya.\nPerhimpunan yang berlangsung selama dua hari yang bermula pada hari ini dirasmikan oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan, yang juga merangkap Menteri Sumber Manusia, selain dihadiri oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar, yang turut memberikan ucapan dasar." "Bahasa Melayu Milik Semua Warganegara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKUALA LUMPUR \u2212 Soal bahasa Melayu ialah soal maruah dan jati diri rakyat Malaysia yang wajib diletakkan di tempat yang tinggi sepanjang masa dan di mana-mana sahaja. Sehubungan dengan itu, perkara ini harus ditanamkan dalam pemikiran setiap ahli masyarakat tentang peri pentingnya penyuburan bahasa Melayu dalam kehidupan bermasyarakat.\nPemimpin negara yang membina negara mesti menguasai bahasa Melayu dengan baik supaya bahasa ini dapat mencernakan pelbagai idea yang luar biasa daripada pelbagai kaum, bangsa dan etnik atau dari pelbagai daerah. Kegagalan mengungkapkan idea tersebut melalui bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat baik dari segi agama, sains dan politik menandakan kegagalan membentuk masyarakat yang bersatu padu.\nSituasi bahasa Melayu pada hari ini dapat dilihat dari segi hubungan masyarakat dengan bahasa dan situasi kedudukan bahasa Melayu semasa yang seperti melukut di tepi gantang. \u201cTatkala Bahasa Mengalir di Muara Merdeka\u201d ialah muara merdeka yang merupakan suatu perlambangan. Muara ialah suatu daerah atau lembangan pada peringkat akhir sesebuah sungai. Muara juga ialah pertemuan di antara air laut dengan air sungai. Begitulah perumpamaan yang boleh diberikan yang mengaitkan bahasa dengan masyarakat pada hari ini.\nDemikianlah antara penerangan menarik oleh Dr. Muhaimin Sulam, Ahli Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM), menerusi Ceramah Umum Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM): Tatkala Bahasa Mengalir di Muara Merdeka, yang disiarkan secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 9.30 pagi tadi.\n\u00a0\nMenurut beliau, bahasa Melayu harus bersedia menghadapi cabaran yang datang dari pelbagai pelosok sebagai bahasa yang mampu menyatukan idea-idea yang mantap, dengan makna yang dapat difahami oleh semua pihak.\nKonsep bahasa Melayu dalam hubung kait untuk mengakrabkan lagi \u201cKeluarga Malaysia\u201c dapat dilihat dari segi pelaksanaannya. Pelaksanaannya dalam kalangan masyarakat dari segi penggunaan bahasa Melayu masih lagi pada tahap yang kritikal yang memerlukan sokongan daripada semua pihak supaya konsep \u201cKeluarga Malaysia\u201d ini benar-benar merupakan satu konsep yang kukuh dan teguh khususnya dalam menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum.\nWalaupun ada pelbagai reaksi daripada masyarakat berhubung dengan ucapan Menteri Alam Sekitar dan Air, iaitu Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggunakan bahasa Melayu di Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland, janganlah kita terlalu bersikap negatif. Hal ini merupakan satu kemajuan dalam perkembangan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa. Kita harus melihat perkembangan positif ini sebagai satu nilai yang sangat berharga dalam perkembangan bahasa Melayu tanah air.\nUjarnya lagi, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan, bahasa negara dan bukannya bahasa untuk orang Melayu sahaja. Bahasa Melayu ialah bahasa nasional yang dimiliki oleh semua warganegara Malaysia tidak kira apa-apa kaum sekali pun." "Jumlah Kemiskinan Isi Rumah Meningkat?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSHAH ALAM \u2013 Kadar kemiskinan di negara ini meningkat kepada 8.4 peratus pada tahun 2020 berbanding dengan 5.6 peratus yang direkodkan pada tahun 2019.\nMenteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YB Datuk Seri Mustapa Mohamed menjelaskan bahawa kerajaan menganggarkan jumlah kemiskinan isi rumah di Malaysia telah meningkat daripada 405 000 pada 2019 kepada 640 000 pada tahun lalu.\nBeliau menjelaskan hal tersebut ketika berucap dalam pembukaan International Forum on New Inclusive Asia 2021 (IFNIA 2021) bertemakan Poverty Alleviation in China-Lessons for Developing Countries yang diadakan secara maya." "341 Bakul Makanan Diagih melalui Program CSR Prihatin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n10 SEPTEMBER- 341 bakul makanan diagihkan menerusi Program CSR Hasil Prihatin Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi membantu penduduk yang terjejas akibat pandemik COVID-19 di Kuantan, Pahang dan Bintulu, Sarawak.\nDi Pahang, YB Tuan Mohd. Shahar Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan menyantuni rakyat dengan turun padang bagi menyampaikan bakul makanan kepada wakil penerima sumbangan di sekitar Kuantan. Sebanyak 141 bakul makanan diagihkan di tiga buah masjid, iaitu di Masjid Al Hidayah Paya Besar, Masjid Lama Permatang Badak dan Masjid Saidina Uthman Affan Bukit Rangin. Turut hadir dalam program tersebut ialah Encik [email\u00a0protected] Daud, Pengarah Negeri LHDNM Pahang.\nDi Bintulu, Sarawak menyaksikan Cik Edith Mason, Pengarah Cawangan LHDNM Bintulu\u00a0 turut menyempurnakan program penyerahan 200 bakul makanan di Balai Raya Assyakirin kepada penerima dan wakil penerima yang kemudiannya akan diagihkan kepada penduduk di sekitar kawasan Bintulu dengan kerjasama Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Bintulu dan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Bahagian Bintulu.\nTurut hadir dalam program tersebut ialah Puan Sharifah Mordiah Syed Ali, Ketua Jabatan PKMB Bintulu dan Encik Zaini Ramli, Ketua Cawangan TBS Bahagian Bintulu. Sehingga kini, sebanyak 10 970 bakul makanan disumbangkan kepada pihak yang memerlukan di seluruh negara melalui Program CSR Hasil Prihatin dengan harapan mampu meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat yang terjejas ekoran penularan wabak COVID-19." "Titah YDPA: Usaha Pemulihan Ekonomi Perlu Dipercepat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR\u2013 Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah menitahkan kerajaan supaya mempercepat usaha pemulihan ekonomi negara menerusi penggubalan dasar yang mesra perniagaan dan pelaburan. Hal ini bertujuan untuk meningkatkan lagi daya saing negara dalam aspek ekonomi.\n\u201cPerbelanjaan yang sewajarnya perlu disediakan bagi membiayai langkah kesihatan awam, menyediakan bantuan kepada golongan yang terjejas serta sokongan untuk merancakkan aktiviti perniagaan selaras dengan pembukaan ekonomi,\u201d titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semasa berkenan merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada hari ini.\nYang di-Pertuan Agong turut melahirkan keyakinan ekonomi Malaysia akan menunjukkan pemulihan yang selari dengan peningkatan kadar vaksinasi penduduk. \u201cUsaha ini turut memberikan keyakinan kepada semua pemegang taruh dan pelabur,\u201d titah Al-Sultan Abdullah.\nAl-Sultan Abdullah turut bertitah, kerajaan perlu membentangkan cadangan di Dewan Rakyat bagi meningkatkan siling perbelanjaan kumpulan wang COVID-19 serta had statutori hutang kerajaan bagi membolehkan perbelanjaan tambahan.\n\u201cPeningkatan daya saing negara juga perlu difokuskan terhadap usaha menambah baikkan ekosistem serta persekitaran perniagaan bagi meneroka penciptaan kekayaan baharu dan menambah nilai terutamanya melalui perusahaan mikro kecil dan sederhana (PKS). Titah baginda, perusahaan ini juga perlu diberi galakan supaya dapat menguruskan perniagaan secara digital bagi menjamin akses pasaran yang lebih luas." "Persefahaman Politik Beri Impak Positif pada Ekonomi Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Persefahaman politik yang dicapai antara kerajaan dengan blok terbesar pembangkang, Pakatan Harapan (PH) pada Isnin diyakini akan menyumbang kepada persekitaran lebih stabil dan kondusif bagi perkembangan sektor pelaburan, pasaran modal dan ekonomi negara.\nTengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Kewangan, berkata pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang dinamakan sebagai Transformasi dan Kestabilan Politik itu bakal memberikan impak positif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku keempat 2021 dan seterusnya bagi tahun 2022.\nKementerian Kewangan yakin bahawa persefahaman politik yang baru dimeterai semalam akan terus mendokong asas pemulihan ekonomi dan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 3.0 peratus hingga 4.0 peratus bagi tahun 2021.\nSementara itu, Tengku Datuk Seri Zafrul memaklumkan Majlis Jemaah Menteri telah meluluskan cadangan untuk membentangkan pindaan Akta Langkah-langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) [Akta KWC] pada 10 September lalu.\nMenurut beliau, hal ini melibatkan dua perkara, iaitu meningkatkan had siling Kumpulan Wang COVID-19 daripada RM65 bilion kepada RM110 bilion dan meningkatkan had statutori hutang Kerajaan Persekutuan daripada 60 peratus kepada 65 peratus daripada KDNK.\nSelain itu, pindaan tersebut juga bertujuan untuk mengukuhkan sistem kesihatan negara dan penambahan bantuan ekonomi kepada rakyat dan sektor perniagaan,\u00a0khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro itu akan dibentangkan untuk kelulusan Dewan Rakyat pada Oktober ini.\n\u201cKementerian Kewangan juga mengarahkan institusi perbankan untuk mengusahakan pengecualian bayaran faedah bagi penerima moratorium pinjaman bank dengan segera.\n\u201cHal ini melibatkan penerima moratorium dari kumpulan 50 peratus terbawah daripada keseluruhan rakyat Malaysia untuk sepanjang tempoh tiga bulan pada suku keempat 2021,\u201d jelas beliau dalam kenyataan media pada hari ini." "Pengeluaran Bulanan Getah Negara Terus Meningkat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pengeluaran getah asli negara terus menunjukkan peningkatan pada Julai tahun ini apabila merekodkan pertambahan 22.3 peratus berbanding dengan bulan sebelumnya, iaitu 38 807 tan metrik tan kepada 47 473 tan metrik.\nDalam kenyataan hari ini, Dato\u2019 Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia, berkata pengeluaran tahunan juga meningkat 13.6 peratus berbanding dengan 41 801 tan metrik pada bulan yang sama tahun lalu.\nPeningkatan pengeluaran itu disokong oleh pertumbuhan bulan ke bulan pengeluaran getah asli oleh sektor estet sebanyak menokok sebanyak 2.1 peratus dan sektor pekebun kecil (24.8 peratus).\n\u201cBagi perbandingan tahun ke tahun\u00a0pula, sektor kebun kecil kekal positif, iaitu 18 peratus, sebaliknya sektor estet menunjukkan pertumbuhan negatif 17.6 peratus,\u201d katanya yang turut memaklumkan bahawa sumbangan utama pengeluaran getah asli di Malaysia adalah daripada sektor pekebun kecil,\u00a0iaitu sebanyak 90.9 peratus berbanding\u00a0dengan\u00a0sektor estet (9.1 peratus).\nSeiring dengan peningkatan pengeluaran tersebut, jumlah stok getah asli turut merekodkan kenaikan sebanyak 16 peratus pada Julai 2021 kepada 280 810 tan metrik berbanding dengan 242 072 tan metrik pada Jun tahun yang sama.\n\u201cEksport getah asli Malaysia berjumlah 48\u00a0645 tan metrik pada Julai 2021 meningkat 0.1 peratus berbanding dengan Jun 2021 (48,589 tan metrik).\n\u201cChina kekal sebagai destinasi utama eksport,\u00a044.6 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Julai 2021 diikuti Amerika Syarikat (7.7 peratus), Finland (5.0\u00a0peratus), Turki (2.8 peratus) dan Mesir (2.7 peratus),\u201d ujarnya.\nMengulas lebih lanjut, prestasi eksport produk getah negara itu disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.\nTambahan pula, produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai RM3.9 bilion pada Julai 2021, menurun sebanyak 39.9 peratus berbanding dengan RM6.4 bilion pada Jun lalu." "Bantuan Khas COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Harga Petrol dan Diesel Kekal\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Penetapan harga runcit petrol RON95, RON97 dan diesel kekal pada paras RM2.05, RM2.73 dan RM2.15 seliter bagi tempoh 16 hingga 22 September 2021.\nMenurut kenyataan Kementerian Kewangan itu, penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan ini adalah untuk\u00a0melindungi pengguna daripada kesan dengan kenaikan harga sebenar minyak pada pasaran global.\nKerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, walaupun hakikatnya harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan.\nKementerian Kewangan turut berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia,\u00a0serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan\u00a0kesejahteraan rakyat terus terpelihara." "Pencemaran Udara Jejas Imej Ekonomi Jakarta\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJakarta\u00a0\u2013\u00a0Pencemaran udara yang melanda jelas memberikan gambaran negatif terhadap infrastruktur industri, perniagaan dan sistem pengangkutan di Jakarta.\nImej ekonomi negara ini turut terjejas apabila pencemaran tersebut memberikan impak pada sektor ekonomi yang lain, seperti pelancongan dan kesihatan rakyatnya.\nPresiden Indonesia Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Presiden Jokowi kini didapati bersalah oleh mahkamah disebabkan kecuaian dalam menangani kesan pencemaran udara di Jakarta.\nSelain\u00a0daripada\u00a0Presiden\u00a0Jokowi, terdapat tiga menteri lain yang turut terlibat dalam kesalahan sedemikian,\u00a0iaitu Menteri Perhutanan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Kesihatan.\nKualiti udara merupakan antara penggerak utama dalam pemantauan landskap ekonomi bagi sesebuah negara.\nDalam permasalahan isu ini, tindakan perundangan telah dilakukan susulan tuntutan yang dikemukakan oleh 32 orang penduduk Jakarta pada tahun 2019 apabila bandar tersebut menduduki tangga terakhir pada Indeks Kualiti Udara Antarabangsa." "Bekalan Bahan Pembinaan Kembali Mencukupi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Baru-baru ini, Maybank IB Research melaporkan bahawa industri hartanah sedang berdepan dengan permasalahan kekurangan bahan binaan yang serius sehingga menyebabkan tempoh pembinaan sesuatu projek menjadi lebih perlahan.\n\u201cBanyak kilang tidak dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun begitu, apabila sektor hartanah dibenarkan beroperasi semula, semua simpanan stok kilang yang ada habis dibeli,\u201d kata Datuk Ir. Soam Heng Choon, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA).\nWalau bagaimanapun, Datuk Ir. Soam Heng Choon berkata, masalah kekurangan bahan binaan ini dijangka akan selesai pada suku keempat tahun ini. Kekurangan bahan binaan itu hanyalah bersifat sementara.\nKatanya, kilang yang tidak mempunyai simpanan stok mencukupi untuk memenuhi permintaan memerlukan tempoh dalam sebulan atau dua bulan sebelum mencukupkan kembali stok tersebut.\nHarga bahan binaan juga akan kembali normal dan stabil secara perlahan-lahan.\n\u201cNamun begitu, keputusan kewangan suku ketiga 2021 dijangkakan lebih lemah dan sebahagian pemaju akan mengalami kerugian memandangkan sekatan pergerakan mula dilonggarkan pada akhir Ogos,\u201d kata Wong Wei Sum, penganalisis REHDA.\nOleh itu, REHDA sedang melobi untuk melanjutkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) berikutan pemaju tidak memperoleh manfaat secara keseluruhannya akibat tempoh sekatan pergerakan yang lama sehingga Ogos lalu.\nMengulas tentang perkara itu, berbakikan tiga bulan setengah sebelum kempen berakhir pada akhir tahun ini, REHDA akan melihat prestasi jualan industrinya dalam tempoh dua bulan ini sebelum memutuskan langkah seterusnya.\n\u201cJika penjualan terjejas, REHDA masih ada masa sehingga November atau selepas belanjawan dibentangkan untuk memohon melanjutkan kempen tersebut demi kebaikan semua pihak,\u201c katanya." "Kewangan Islam untuk Semua\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam usaha mencapai aspirasi negara untuk menjadi hab kewangan Islam serantau, terdapat aspek yang perlu diberi perhatian. Antaranya termasuklah pengukuhan kawal selia sektor kewangan Islam, penyeragaman piawaian perakaunan dan laporan kewangan, pembentukan modal insan, serta pembangunan produk dan servis yang lebih inovatif. Namun begitu, pencapaian dalam semua aspek di atas menjadi lebih bermakna sekiranya penembusan pasaran sektor kewangan Islam lebih inklusif (menyeluruh) dan tidak tertumpu terhadap segmen pengguna Muslim sahaja.\nPada masa ini, maklumat demografi pengguna kewangan Islam mengikut agama sukar diperoleh menerusi capaian atau rekod awam. Berdasarkan pemerhatian, kesedaran dan pengetahuan pengguna bukan Muslim tentang produk dan servis kewangan Islam dijangka masih berada pada paras yang rendah. Menyedari situasi ini, sewajarnya kita merangka langkah yang lebih strategik bagi merapatkan jurang kesedaran dan pengetahuan mereka. Hal ini disebabkan kesedaran dan pengetahuan merupakan senjata yang dapat menarik minat pengguna untuk menyertai sektor kewangan Islam.\nBagi meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan pengguna bukan Muslim tentang kewangan Islam, aspek pendidikan merupakan jalan penyelesaian utama. Beberapa minggu lalu, saya membincangkan topik Takaful di dalam kelas tutorial bagi mata pelajaran Kewangan Islam. Pada akhir kelas, seorang pelajar bertanya sama ada sebagai seorang pengguna bukan Muslim, adakah beliau juga boleh mendapatkan produk Takaful? Perbualan tersebut menarik perhatian saya untuk menulis tentang topik kewangan Islam pada kali ini. Sejujurnya, ini bukanlah kali pertama soalan sedemikian diajukan semasa sesi pembelajaran. Saban semester, pasti ada yang bertanya sama ada produk dan servis kewangan Islam turut terbuka kepada pengguna bukan Muslim.\nSebagai pendidik dalam bidang kewangan Islam kepada kelompok pelajar yang hampir 100 peratus bukan Muslim, saya melihat soalan sedemikian sebagai sesuatu yang positif dan memberangsangkan. Hal ini menunjukkan bahawa individu bukan Muslim kini bukan sahaja lebih terbuka dan berminat untuk menerima pakai produk dan servis kewangan Islam, malah ada kalanya soalan-soalan yang diajukan oleh mereka membuatkan saya berfikir dengan lebih kritis berhubung isu-isu yang sebelumnya tidak pernah menjadi persoalan\u2013barangkali kerana sesetengah perkara itu merupakan kelaziman kepada seseorang Muslim, namun tidak kepada individu bukan Muslim. Yang menariknya, hal ini menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran kami sentiasa berjalan seiringan dan secara berterusan. Bukan mereka sahaja yang belajar daripada saya, namun secara tidak langsung saya juga belajar daripada mereka menerusi perbincangan sama ada di dalam mahupun di luar kelas.\nMengajar subjek kewangan Islam kepada pelajar bukan Muslim sememangnya mencabar, namun mendapat kepuasan yang berbeza. Bagi memastikan proses pembelajaran yang lebih efektif, pendekatan yang diambil juga harus kreatif. Penerangan perlu dijelaskan dengan gaya bahasa yang lebih santai dan ringkas, berserta contoh yang mudah difahami. Lebih mencabar lagi apabila kandungan mata pelajaran ini mempunyai pelbagai terma dalam bahasa Arab yang begitu asing kepada mereka.\nBerbalik pada isu utama, status sebagai hab kewangan Islam serantau menjadi lebih bermakna jika hal ini tidak hanya bersandarkan pada jumlah aset mahupun peratusan pertumbuhan. Bagi mencapai objektif ini, salah tanggapan bahawa produk dan servis kewangan Islam yang hanya eksklusif untuk pengguna Muslim perlu diperbetul. Masyarakat seharusnya didedahkan dengan aspek kewangan Islam yang sememangnya universal. Sebagaimana yang sering dikongsi bersama-sama para pelajar saya, iaitu \u201canda mungkin bukan seorang Muslim, maka anda tidak terikat dengan ajaran agama Islam yang mewajibkan anda berurusan mengikut landasan Syariah. Namun begitu, setelah belajar dan mengetahui dengan lebih mendalam tentang kewangan Islam, jika anda merasakan konsepnya merupakan sesuatu yang dekat dan selari dengan prinsip moral dan etika anda, maka teruskanlah\u201d. Tegasnya, pintu kewangan Islam sentiasa terbuka untuk semua.\nDr. Nurul Afidah Mohamad Yusof, Penolong Profesor di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Kewangan, Universiti Tunku Abdul Rahman." "KSBM sebagai Acuan Standard Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nIPOH \u2212 Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) merupakan acuan standard bahasa Melayu\u00a0yang sedang diuar-uarkan ke seluruh negara merupakan satu keperluan bagi melihat atau meletakkan bahasa Melayu itu setanding dengan bahasa-bahasa besar lain di dunia. Tujuannya tidak lain tidak untuk mendukung dan memartabatkan bahasa Melayu dan merealisasikan penggunaannya di peringkat antarabangsa secara meluas.\nMenurut Dr. Azhar Md Sabil, Pensyarah dari Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia, jumlah penutur bahasa Melayu adalah antara yang terbanyak di dunia pada waktu ini. Oleh itu, semoga dengan adanya KSBM ini dapat menjadikannya sebagai kayu ukur oleh sesiapa sahaja bagi tujuan penyetaraan standard bahasa Melayu.\nUjarnya lagi, aspek bahasa Melayu juga dilihat penting dalam Perlembagaan Persekutuan. Untuk menjadi seorang warganegara mengikut Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 16, seseorang itu perlu mempunyai pengetahuan asas dalam bahasa Melayu. Perkara 19 pula memperuntukkan syarat bahawa seseorang itu perlu mempunyai pengetahuan memadai dalam bahasa Melayu.\nBahasa Melayu juga tetap diutamakan sebagai kriteria syarat lantikan pegawai dalam perkhidmatan awam. Antara syarat kelayakan lantikan yang terkandung dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia ialah calon perlu melepasi syarat kelulusan Bahasa Melayu pada gred tertentu dan berkebolehan bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa Melayu dengan memuaskan.\nPegawai perkhidmatan awam perlu diberi latihan khusus supaya menepati syarat asas tentang pengetahuan bahasa Melayu yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran berbahasa mereka. Mereka juga seharusnya perlu diberi latihan dan kursus kemahiran bercakap di khalayak umum secara santun berbahasa. Begitu juga ketika berurusan dengan pelanggan di kaunter-kaunter perkhidmatan awam.\nKatanya lagi, lebih baik sekiranya Pusat Bahasa Melayu di luar negara yang ditubuhkan itu mengadakan Kursus Bahasa Melayu dan kegiatan kebahasaan yang aktif dalam usaha mempromosikan bahasa Melayu di luar negara khususnya kepada pelancong yang ingin melancong ke Malaysia.\nSekiranya kita ada satu acuan atau panduan yang standard (KSBM), maka tiada sesiapa boleh mempertikaikan tentang keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di peringkat antarabangsa. Semoga kerangka ini dapat diterima baik oleh semua masyarakat demi mengangkat bahasa Melayu di dalam dan luar negara.\nMenurut Dr. Simah Mamat, Pensyarah Kanan dari Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya pula, sebagai pengantaraan KSBM, pengajian Bahasa Melayu ditawarkan di seluruh dunia oleh universiti terkemuka. Aspek kemahiran berbahasa Melayu seperti kemahiran mendengar, bertutur dan menulis pada peringkat universiti diterapkan di setiap universiti. Terdapat lebih daripada 13 buah universiti di seluruh dunia yang menawarkan Kursus\u00a0 Bahasa Melayu.\nBagi Dr. Azaha Ibrahim dari Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Kota Bharu, Kelantan pula, dengan adanya KSBM ini diharapkan dapat mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa yang disegani di Malaysia dan seterusnya di dunia. KSBM juga bertujuan agar bahasa Melayu terus hidup subur dalam jiwa masyarakat pelbagai kaum dan sebagai satu \u201cKeluarga Malaysia\u201d. Bahasa Melayu juga bahasa perpaduan yang perlu diperjuangkan bagi mengangkat martabatnya ke mercu kegemilangan seperti zaman kegemilangannya ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu.\nDemikianlah antara penerangan menarik daripada para panel jemputan dalam Webinar Kerangka Standard Bahasa Melayu, yang diadakan secara langsung menerusi platform Zoom dan YouTube pada pukul 9.00 pagi tadi. Webinar anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh ini diadakan menerusi dua sesi pembentangan, iaitu pada 17 November 2021 dan 18 November 2021. Yang turut hadir ialah Dr. Azman Rahman, Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Bahasa Melayu, selaku moderator." "Peranan China di Afghanistan Selepas Pengunduran AS\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada 14 April lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan pengunduran tenteranya dari Afghanistan menjelang 11 September. Sebaliknya, pada 8 Julai, Joe Biden mengawalkan pula tarikh akhir pengunduran, iaitu pada 31 Ogos. Sebelum itu, pengunduran dilakukan secara berperingkat bermula pada Mei. Rancangan untuk mengundurkan tentera AS dari Afghanistan bermula sejak era pentadbiran Barrack Obama. Pada 22 Jun 2011, beliau telah menggariskan rancangan untuk mengundurkan 33 000 tentera AS menjelang tahun 2012. Pada tahun yang sama, tentera AS di Afghanistan berjumlah 90 000 orang. Pada 27 Mei 2014, Obama mengumumkan jadual pengunduran tentera AS menjelang akhir 2016. Pentadbiran Donald Trump pula telah menandatangani perjanjian dengan Taliban pada 29 Februari 2020 yang membuka jalan untuk AS mengundurkan tenteranya.\nKehadiran tentera AS di Afghanistan bermula apabila George W. Bush melancarkan Operation Enduring Freedom yang merupakan sebahagian daripada Perang Menentang Keganasan pada 7 Oktober 2001. Taliban yang memerintah Afghanistan mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda pimpinan Osama bin Laden yang bertanggungjawab terhadap serangan pada 11 September 2001. Sepanjang 20 tahun berada di Afghanistan, seramai 16 000 orang terkorban. Tentera AS yang terkorban pula sebanyak 2448 orang, manakala lebih 20 000 anggota lagi cedera.\nPada 15 Ogos 2021, Taliban berjaya mengambil alih Kabul menyebabkan kerajaan Afghanistan pimpinan Ashraf Ghani tumbang. Taliban kemudiannya mengumumkan pembentukan kerajaan sementara pada 7 September 2021. Mullah Mohammad Hassan Akhund dilantik sebagai pemangku Perdana Menteri, Mullah Abdul Ghani Baradar dan Mawlawi Abdul Salam Hanafi (pemangku Timbalan Perdana Menteri), Sirajuddin Haqqani (Menteri Dalam Negeri), Mullah Mohammad Yaqoob (Menteri Pertahanan), Amir Khan Muttaqi (Menteri Luar), Mullah Hidayat Bakri (Menteri Kewangan), Abdul Hakim (Menteri Keadilan) dan Khairullah Khairkhwa (Menteri Maklumat). Manakala Mullah Hibatullah Akhundzada sebagai pemimpin agung.\nPengunduran tentera AS akan memberikan impak terhadap keselamatan nasional dan integriti wilayah China terutama di Xinjiang. China berkongsi sempadan sejauh 76 kilometer dengan Afghanistan. Atas faktor keselamatan, China mengadakan hubungan tidak rasmi dengan para pemimpin Taliban. Beijing perlu mendekati Taliban agar mereka tidak menyokong kumpulan pemisah Xinjiang seperti Gerakan Islam Turkestan Timur (GITT). China harus memastikan bahawa Afghanistan tidak akan menjadi tempat perlindungan dan merekrut anggota GITT. Oleh sebab itu, pada 28 Julai 2021, Mullah Abdul Ghani Baradar dan Menteri Luar China, Wang Yi telah bertemu di Tianjin. Taliban berjanji bahawa Afghanistan tidak akan digunakan sebagai pangkalan kumpulan pemisah.\nSebagai pertukaran, China menawarkan sokongan ekonomi dan pelaburan untuk pembangunan semula infrastruktur dan ekonomi Afghanistan selepas pengunduran AS. Menurut Wang Yi, China akan menyediakan bantuan kemanusiaan bernilai 200 juta Yuan (A.S$30.96 juta). Bantuan terbabit merangkumi makanan, bekalan untuk musim sejuk, tiga juta dos vaksin COVID-19 dan ubat-ubatan. Afghanistan mempunyai potensi ekonomi terutamanya dalam konteks Belt & Road Initiative (BRI) dan pelaburan. Presiden China, Xi Jinping telah melancarkan BRI di Astana, Kazakhstan pada September 2013 yang bermatlamat untuk mewujudkan jalinan kerjasama ekonomi antara China dengan negara-negara di Asia Tengah, Asia Selatan, Asia Tenggara, Asia Barat dan Eropah.\nAntara projek utama BRI di rantau Asia Selatan ialah Koridor Ekonomi China \u00e2\u20ac\u201c Pakistan (CPEC). CPEC yang bernilai A.S.$64 bilion merangkumi rangkaian jalan raya, landasan kereta api dan saluran paip yang bertujuan untuk menghubungkan wilayah Xinjiang dengan pelabuhan Gwadar di Pakistan. China turut merancang untuk memperluas jalinan ke Afghanistan agar dapat menghubungkan Asia Tengah, Asia Selatan dan Iran dengan China. Menurut jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid pada 6 September 2021, mereka mahu mengadakan hubungan baik dengan negara-negara jiran selain berhasrat untuk menyertai CPEC. Menteri Dalam Negeri Pakistan, Sheikh Rashid Ahmed menyifatkan hasrat Taliban itu sebagai perkara yang baik dan amat mengalu-alukan penyertaan Afghanistan dalam CPEC.\nBeberapa buah syarikat China dilihat berpotensi untuk terlibat dalam pembangunan semula infrastruktur di Afghanistan. Pada akhir Mei 2021, terdapat syarikat-syarikat yang berhasrat untuk melabur sebanyak A.S.$400 juta dalam pembinaan loji jana kuasa arang batu 300 megawatt. Syarikat Sany Group akan melabur di Afghanistan jika keadaan lebih stabil dan jelas. Manakala terdapat kemungkinan Power Construction Corporation of China (PowerChina) yang akan terlibat dengan pelbagai projek pada masa hadapan terutamanya berkaitan dengan sektor hidroelektrik dan kuasa terma. Menurut syarikat kuasa, Da Afghanistan Breshna Sherkat, hanya 35 peratus populasi mempunyai akses terhadap bekalan elektrik. Kepakaran China dapat dimanfaatkan untuk menambahbaikkan sektor bekalan elektrik sekali gus meningkatkan peratusan populasi Afghanistan yang mendapat bekalan elektrik.\nAfghanistan yang kaya dengan mineral dan nadir bumi dijangka menarik minat China. Kekayaan mineral dan nadir bumi Afghanistan bernilai A.S.$1 trilion. Mineral dan nadir bumi digunakan dalam bidang elektronik, telekomunikasi, pertahanan, kesihatan dan angkasa. Afghanistan juga kaya dengan mineral lain seperti tembaga, emas, bauksit, kromium, plumbum dan zink. Menurut laporan Kementerian Perlombongan dan Petroleum pada tahun 2019, Afghanistan mempunyai sumber tembaga berjumlah 30 juta tan, bijih besi pula bernilai A.S.$350 bilion (2.2 bilion tan) dan emas bernilai A.S.$170 juta (2700 kg).\nSyarikat China, Zijin Mining Group and the China Metallurgical Group Corporation (MCC Group) dan Jiangxi Copper sebelum ini pernah mendapat tender untuk membangunkan lombong tembaga di Mes Aynak, wilayah Logar pada tahun 2007. Kawasan tersebut mempunyai 9.98 juta tan simpanan tembaga yang ditemui oleh ahli geologi Soviet pada 1970-an. Sebagai pertukaran kepada hak melombong tembaga selama 30 tahun, syarikat tersebut berjanji akan melabur sebanyak A.S.$3 bilion serta membina loji jana kuasa dan landasan kereta api. Walau bagaimanapun, perlombongan tembaga tidak begitu praktikal disebabkan keadaan politik yang tidak stabil dan kejatuhan harga tembaga.\nKekayaan minyak dan gas asli juga boleh dimanfaatkan oleh Afghanistan dengan kerjasama China. Afghanistan mempunyai 1.6 bilion tong minyak mentah, 16 trilion kaki padu gas asli dan 500 juta tong cecair gas asli. Pada tahun 2011, China National Petroleum Corporation (CNPC) mendapat tawaran mencari gali minyak bernilai A.S.$400 juta di tiga kawasan untuk tempoh 25 tahun. Ketiga-tiga kawasan terbabit mengandungi 87 juta tong minyak.\nChina hanya dapat berperanan dalam pembangunan semula Afghanistan jika politik dalaman kembali stabil. Menstabilkan politik merupakan tugas berat yang perlu digalas oleh kerajaan sementara Taliban. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat kumpulan penentang seperti Barisan Penentangan Nasional pimpinan Ahmad Wali Massoud dan Amrullah Saleh yang menolak pemerintahan Taliban. Kestabilan politik amat penting bagi menarik minat pelabur asing supaya dapat menjamin pelaburan mereka. Oleh hal yang demikian, China juga mahukan Afghanistan berada dalam keadaan stabil demi keselamatan nasional dan kepentingan ekonominya.\nPenulis, berkelulusan Sarjana Analisis Strategi dan Keselamatan, Universiti Kebangsaan Malaysia." "RMK12: Peruntukan Besar Buat Sabah dan Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR- Peruntukan sebanyak RM9.13 bilion yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob untuk Sabah dan Sarawak pada Khamis lalu disifatkan sebagai langkah tepat dan menggembirakan rakyat di kedua-dua negeri itu.\nFelo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Madya Dr. Jeniri Amir berpendapat hal tersebut dapat mengurangkan jurang pembangunan prasarana, ekonomi digital dan sosial di negeri terbabit. Peruntukan yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri sekitar RM9 bilion itu tentunya disambut baik 6.6 juta rakyat Negeri Sarawak dan Sabah.\n\u201cSesungguhnya cerminan semangat \u201cKeluarga Malaysia\u201d yang telah digagaskan oleh YAB Perdana Menteri merupakan komitmen jitu Kerajaan Persekutuan untuk memastikan jurang lebar antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia dapat dirapatkan,\u201c jelas beliau.\nSebelum ini, pelbagai rungutan dan masalah telah lama berlarutan termasuklah kemudahan asas yang jauh ketinggalan. Oleh sebab itu, komitmen Kerajaan Persekutuan itu dijangka dapat memacu Sabah dan Sarawak setanding dengan negeri-negeri maju yang lain.\n\u201cSegala peruntukan yang dinyatakan itu amat munasabah dan serasi dengan keinginan YAB Perdana Menteri untuk melihat Sabah dan Sarawak juga dapat berdiri sama tinggi dengan negeri lain,\u201c tambah Dr. Jeniri.\nYAB Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) telah mengumumkan peruntukan sejumlah RM4.66 bilion bagi negeri Sabah, manakala sebanyak RM4.47 bilion bagi negeri Sarawak.\nPeruntukan itu jelas beliau akan disalurkan melalui peruntukan pembangunan di bawah Rolling Plan 1 2021, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), yang akan dibentangkan di Parlimen pada 27 September ini." "Manfaat Ekosistem Ekonomi Kerajaan, Pulihkan Ekonomi Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Kerajaan perlu memanfaatkan sebaik mungkin ekosistem ekonomi sedia ada yang dimilikinya bagi menyelamatkan ekonomi rakyat termasuklah sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kata Dr. Edmund Terence Gomez, Profesor Ekonomi Universiti Malaya.\nEkosistem ekonomi yang dimaksudkan oleh beliau ialah rangkaian syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun yang disifatkan mempunyai capaian agak besar dalam ekonomi Malaysia.\nCapaian ekosistem ekonomi tersebut meliputi hampir keseluruhan sektor yang merangkumi perbankan, kesihatan (pemilikan hospital swasta), telekomunikasi, utiliti, perikanan dan pertanian.\nKita sememangnya memiliki sumber. Mereka (kerajaan) tahu kerana mereka memiliki institusi pembangunan kewangan antaranya seperti SME Bank, Agrobank dan Bank Pembangunan serta termasuklah bank yang dimiliki oleh GLC.\nSelain itu, badan berkanun seperti Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan lain-lain lagi boleh membantu petani dan nelayan di luar bandar.\n\u201cJika kesemua ekosistem\u00a0ini dimanfaatkan\u00a0dengan baik, hal ini akan menjadi satu anugerah,\u201d katanya ketika menjadi panel dalam program webinar Aliran bertajuk \u201cNegara, Masyarakat dan Ekonomi dalam Peralihan \u2013 Di Mana Malaysia?\u201d.\nDr. Edmund berkata, ramai pihak tidak sedar akan keupayaan ekosistem yang dimiliki oleh kerajaan itu bagi membantu menyelamatkan ekonomi negara sekiranya direformasikan dengan baik.\nKepentingan tersebut adalah untuk membantu ekonomi negara juga dapat dilihat apabila kerajaan sebelum ini telah melancarkan inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (Perkukuh) bagi membantu usaha enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk melaksanakan mandat diperbaharui mereka.\nOleh itu, kerajaan perlu mengambil perhatian untuk memastikan penambahbaikan sistem tersebut khususnya dalam perancangan RMK-12 dan Belanjawan 2022.\nMengulas lanjut, Edmund berkata, PKS merupakan sektor yang paling penting untuk diberikan perhatian dalam usaha negara menangani krisis ekonomi yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.\nBerdasarkan lebih daripada 1.2 juta syarikat yang berada di Malaysia, 98.5 peratus daripadanya merupakan syarikat PKS,\u00a0iaitu kira-kira 900\u00a0000\u00a0syarikat.\n\u201cSeparuh daripadanya dijangka\u00a0akan mengalami kerugian dalam masa terdekat. Hal ini akan berlakunya peningkatan dalam pinjaman tidak berbayar, kes muflis dan pengangguran.\n\u201cMaka itu, timbul persoalan apakah\u00a0yang perlu dilakukan untuk menangani isu serius ini? Bagaimanakah\u00a0kita berhadapan dengan pandemik yang dijangka akan berlanjutan? Siapakah\u00a0yang akan melakukan intervensi untuk menyelamatkan negara?\n\u201cTidak ragu lagi, semuanya berkaitan dengan kerajaan,\u201d ujarnya.\nJelas beliau, negara yang memiliki ekosistem seperti China dan Singapura dan berjaya memanfaatkannya dengan baik terbukti berupaya untuk menangani krisis COVID-19 dengan lebih cepat dan efektif.\n\u201cSingapura juga memiliki sistem GLC yang luas dan mereka melakukan intervensi dengan sangat efektif. Selain itu, kita lihat juga bagaimanakah\u00a0China mampu membina hospital dengan cepat sebagai langkah intervensi menangani\u00a0pandemik ini.\n\u201cKita masih tidak sedar mengenai penyelesaian ini yang hakikatnya sudah digunakan di negara lain. Negara yang menangani pandemik ini dengan cepat dan efektif adalah mereka yang mempunyai ekosistem seperti ini (penglibatan GLC yang meluas dalam ekonomi),\u201d ujarnya." "Pakej Penjagaan COVID-19 Sasar RM471.6 Juta kepada Keluarga B40\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 \u00a0Bagi memastikan rakyat bebas daripada jangkitan wabak ini, kerajaan telah memperkenalkan Pakej Penjagaan COVID-19 (PPC) khususnya kepada keluarga dalam kategori B40.\nDengan memperuntukkan sebanyak RM471.6 juta, kerajaan akan menyediakan bantuan PPC seperti pek pelitup muka guna semula (empat keping setiap keluarga); ujian kendiri kit COVID-19 (empat unit kit setiap keluarga); seunit oksimeter nadi; seunit termometer; dan risalah panduan penggunaan serta maklumat berkaitan dengan penjagaan kesihatan.\nYAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri berkata, pakej ini merupakan satu persediaan negara ke arah era endemik COVID-19.\nPPC ini adalah bertujuan untuk meringankan beban kewangan perbelanjaan isi rumah bagi keluarga B40 dan sekali gus melatih diri dalam membudayakan kebiasaan baharu bagi memutuskan rantaian jangkitan virus COVID-19.\nMenurut beliau, pembelian PPC ini akan mula dilaksanakan berdasarkan maklumat penerima berdaftar Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang sudah berkeluarga.\nPenerima PPC adalah dalam kalangan isi rumah B40 yang sudah berkahwin dengan ada atau tidak mempunyai anak; ataupun ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak.\nInisiatif ini dijangka akan memberikan manfaat kepada lebih daripada 3.6 juta keluarga B40 dan sebanyak 8.4 juta penerima BPR secara keseluruhannya.\nSelain itu, kerajaan juga bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 bagi meningkatkan perlindungan kepada golongan rentan secara khususnya, di samping meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19.\n\u201cPemberian dos ketiga ini tertumpu kepada kumpulan yang berisiko tinggi terlebih dahulu, seperti anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun, warga tua dengan komorbiditi.\n\u201cKumpulan bersasar ini juga termasuklah individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang apabila liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.\u201d\nMengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kesemua perincian berhubung dengan pelaksanaan PPC dan pemberian dos ketiga vaksin akan diumumkan kelak oleh Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan." "Ekonomi Digital Penyumbang Terbesar?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melancarkan Ekspo Go-eCommerce 2021, iaitu persidangan e-dagang maya untuk memacu adaptasi e-dagang dalam kalangan perniagaan tempatan dengan memanfaatkan inisiatif Go-eCommerce Belanjawan 2021.\nMDEC menjangkakan ekspo yang bermula pada hari ini hingga 23 September dapat menggalakkan penggunaan e-dagang sebagai saluran pendapatan kepada perniagaan tempatan, sekali gus memperoleh khalayak yang lebih luas dalam usaha meningkatkan jualan.\nMDEC bekerjasama dengan 23 rakan kongsi seperti Alacarte, DeliverEat, DHause, Dropee, eRomman, EZAssist, Food Market Hub, Foodpanda, Grab, iBeli, Instantestore, JDMas, JOCOM, Kravve, Kumoten, Lazada, Mpay, PGMall, senangPay, Shopee, SHOPLINE, SiteGiant dan SUBPLACE untuk memastikan capaian khalayak yang lebih luas dan meningkatkan penglibatan perniagaan tempatan.\n\u201cPandemik menunjukkan adaptasi digital merupakan satu daripada keperluan untuk berjaya dalam perniagaan. MDEC menerusi inisiatif #SayaDigital akan terus menyokong penuh perniagaan tempatan untuk memanfaatkan Belanjawan 2021 dan program Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH),\u201d demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, \u00a0Mahadhir Aziz dalam kenyataan.\nMenurut beliau, MDEC yakin bahawa e-dagang akan mencipta lebih banyak peluang dan aliran pendapatan dengan memajukan ekonomi digital secara menyeluruh selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.\nMenurut laporan MyDIGITAL, ekonomi digital dijangka menyumbang sebanyak 22.6 peratus untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025 serta menyasarkan sebanyak 875 000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai langkah untuk mengadaptasi e-dagang.\nSumber MDEC turut menjelaskan ekspo tersebut bakal menampilkan tetamu industri berpengalaman bagi berkongsi pengalaman, petua mencipta kesedaran jenama, saluran memacu jualan, selain penggunaan media sosial untuk meningkatkan e-dagang.\nPada tahun 2020, Ekspo Go-eCommerce berjaya menarik kira-kira 3000 pendaftaran dan lebih 30 000 penonton menerusi 12 webinar dengan penampilan 23 tetamu jemputan." "KPDNHEP Keluarkan Kompaun di Seluruh Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHULU TERENGGANU \u2013 Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM3.67 juta kepada peniaga dan orang awam di seluruh negara atas pelbagai kesalahan yang didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).\nTimbalan Menteri KPDNHEP, YB Datuk Rosol Wahid menjelaskan, kompaun yang dikeluarkan sebanyak 764 kes itu melibatkan pelbagai kesalahan di premis perniagaan bermula 1 Jun lalu di bawah pelaksanaan PKP dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).\n\u201cSepanjang tempoh itu, KPDNHEP melakukan 228 223 pemeriksaan di premis perniagaan di bawah penguatkuasaan pemantauan SOP PKP Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Antara kesalahan yang direkodkan termasuklah gagal mendaftar masuk menggunakan buku dan aplikasi MySejahtera, menjalankan aktiviti tidak dibenarkan, gagal menyediakan penanda jarak satu meter dan tidak memakai pelitup muka,\u201c jelas beliau.\nMenurut beliau, KPDNHEP juga telah menggerakkan lebih 2000 penguat kuasa bagi memantau operasi sektor perniagaan dan peruncitan di seluruh negara sejak 16 Ogos lalu melalui \u201cOps Samar\u201d. Pemantauan itu dilakukan bagi pematuhan SOP untuk kebenaran menjamu selera di restoran dan kedai makan seluruh negara yang pada ketika ini hanya membenarkan pelanggan yang lengkap dua dos vaksin COVID-19 sahaja.\nKesan ketidakpatuhan terhadap SOP ini boleh menyusahkan orang ramai. Menerusi \u201cOps Samar\u201d, kita akan pastikan peniaga dan orang awam mematuhi SOP dan sekiranya gagal, tindakan kompaun boleh dikenakan terhadap mereka,\u201c jelas YB Datuk Rosol." "Belanjawan 2022 Berkonsepkan Pemulihan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2013 Belanjawan 2022 kekal bercirikan pengembangan dan berkonsepkan belanjawan pemulihan bagi menyokong usaha pembaharuan kerajaan dengan lebih meluas untuk tempoh jangka panjang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).\nMenteri Kewangan, YB Senator Tengku Dato\u2019 Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan, fokus utama Belanjawan 2022 ialah memacu pemulihan ekonomi, membina semula daya ketahanan negara dan memangkinkan pembaharuan untuk ekonomi negara.\n\u201cTahun 2022 akan menjadi tahun kritikal bagi Malaysia, tahun untuk bangkit dan permulaan penting yang bukan sahaja terhadap pemulihan ekonomi, malah melibatkan pemulihan industri, kehidupan dan pekerjaan, terutamanya bagi golongan yang terjejas teruk akibat pandemik,\u201c jelas beliau ketika menyampaikan ucap utama dalam Sidang Kemuncak Kewangan dan Perbankan Malaysia 2021 yang diadakan secara maya pada hari ini.\nDalam usaha membina daya tahan, beliau menegaskan, bank dan institusi kewangan perlu memainkan peranan penting, antara lain perlu menyokong pelanggan dalam peralihan mereka kepada keperluan kebiasaan baharu, termasuklah memanfaatkan pendigitalan dalam operasi perniagaan mereka.\n\u201cPihak bank perlu memainkan peranan penting dalam meningkatkan peranan perantaraan kewangan sepanjang kitaran mana-mana perniagaan, baik usahawan yang bercita-cita tinggi atau konglomerat yang akan melaksanakan tawaran awam permulaan dan mereka yang meneroka bentuk pembiayaan alternatif termasuklah rantaian bekalan pembiayaan atau kemudahan berasaskan perdagangan baharu.\n\u201cUsaha-usaha ini akan melengkapi inisiatif yang lebih luas oleh kerajaan termasuklah Dasar Revolusi Industri Keempat Negara (IR 4.0) dengan pendigitalan dan penggunaan teknologi yang begitu penting dalam usaha meningkatkan prospek dan ketahanan ekonomi selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia,\u201d jelas beliau.\nSebagai penggerak modal, YB Tengku Zafrul berpandangan, industri perbankan merupakan kunci dalam memudahkan peralihan syarikat ke arah amalan karbon rendah dan lestari melalui pembiayaan dan pelaburan yang melangkaui pandemik, sama ada menyokong penggunaan tenaga boleh diperbaharui, teknologi baharu atau cara baharu untuk menjalankan perniagaan.\n\u201cSudah pasti faktor untuk bangkit dengan lebih baik ialah dengan mengubah cara bank beroperasi. Pada peringkat global, lebih daripada 45 peratus industri perbankan global telah mendaftar bagi Inisiatif Kewangan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Prinsip Perbankan yang Bertanggungjawab,\u201c jelas beliau.\nYB Tengku Zafrul juga menyarankan agar lebih banyak institusi kewangan dalam negara supaya turut serta dalam aspek tersebut, selaras dengan objektif Matlamat Pembangunan Lestari dan Perjanjian Iklim Paris.\nTambah beliau, dengan berbuat demikian, pihak bank dapat memastikan integrasi kelestarian yang lebih mendalam dalam bidang perniagaan bank, sekali gus dapat membuat keputusan dengan lebih strategik.\n\u201cUsaha seperti ini tentunya melengkapkan usaha kerajaan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari PBB dalam peruntukan tahunannya. Bermula dengan Belanjawan 2021, ciri ini akan diteruskan dalam Belanjawan 2022, serta melalui inisiatif yang lebih luas seperti RMK12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,\u201d jelas beliau.\nMemandangkan sektor kewangan terikat dengan ekonomi yang lebih luas, YB Tengku Zafrul berpendapat, amatlah penting bagi industri perbankan melipatgandakan usaha memulihkan ekonomi sambil menyokong kelangsungan perniagaan terutamanya bagi memulakan perniagaan ketika sektor ekonomi dibuka semula.\nDalam hal ini, industri perbankan diharap dapat memudahkan pinjaman kepada perniagaan dengan syarat pembiayaan dan pembayaran yang akomodatif termasuklah menyertai program iTEKAD yang membantu pengusaha mikro untuk memulakan dan mempertahankan perniagaan mereka.\nIndustri ini juga perlu menyediakan kemudahan berasaskan bukan hutang seperti skim mudah tunai Cakna dan Jana Niaga yang melegakan kekangan aliran tunai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tanpa meningkatkan tahap hutang mereka.\nAkhiri beliau, pihak bank juga seharusnya menggalakkan pembayaran digital, selain penyertaan pedagang kecil untuk menerima pembayaran QR dan memastikan bayaran yuran peniaga yang berpatutan, di samping menyokongnya melalui pelbagai skim pembiayaan segmen peminjam yang paling kurang mendapat perkhidmatan atau layanan, baik dalam sektor perhotelan, perusahaan mikro atau dalam kalangan usahawan wanita." "Belanjawan 2022: Rundingan Kerajaan dengan Pembangkang Bermula\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR- Kerajaan Persekutuan mula mengadakan sesi rundingan bersama-sama dengan pihak pembangkang sebelum Belanjawan 2022 dibentangkan di Parlimen pada Oktober kelak.\nTimbalan Menteri Kewangan II, YB Yamani Hafez Tan Sri Musa berkata, kerajaan komited untuk berbincang bersama-sama dengan pihak pembangkang susulan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dengan pembangkang (Pakatan Harapan) pada 13 September lalu.\nBeliau menjelaskan, rundingan tersebut antara lain adalah untuk memastikan cadangan inisiatif dan langkah-langkah Belanjawan 2022 dapat memberi keutamaan kepada kesihatan dan kebajikan rakyat serta aspek yang berkaitan dengan kelangsungan perniagaan.\n\u201cAtas semangat kesepakatan bersama-sama terutamanya dalam usaha untuk bangkit daripada kesan COVID-19 dan memulihkan semula negara, kerajaan berharap Belanjawan 2022 yang dirunding kelak akan berjalan dengan lancar dan dapat dipersetujui secara bersama-sama,\u201djelas beliau ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada hari ini.\nSementara itu, YB Yamani Hafez menjelaskan, Kementerian Kewangan buat pertama kalinya mengeluarkan Kenyataan Pra-Bajet (KPB) bagi Belanjawan 2022 pada 31 Ogos lalu untuk meningkatkan ketelusan proses merangka inisiatif belanjawan, selain membina keyakinan awam terhadap pengurusan fiskal negara terutamanya dalam kalangan pelabur.\nMenurut beliau, KPB merupakan satu daripada transformasi yang dilaksanakan kerajaan yang bermatlamat untuk menyediakan peluang kepada semua pihak berkepentingan dengan memberi maklum balas ke arah perangkaan sebuah belanjawan yang memenuhi keperluan rakyat, selaras dengan dasar dan objektif negara.\nSelain itu, Kementerian Kewangan juga sedang giat melaksanakan pelbagai sesi libat urus dengan penggiat industri dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuklah jelajah ke negeri-negeri bagi mendengar maklum balas serta cadangan.\nYB Yamani Hafez menyatakan, Belanjawan 2022 akan memberi tumpuan dalam usaha melindungi, memulihkan kehidupan serta membina semula daya ketahanan negara.\nPada masa yang sama, cadangan pengecualian bayaran faedah untuk moratorium pinjaman bank, beliau berkata, kerajaan masih membincangkan perkara itu dengan institusi perbankan kerana melibatkan keputusan komersial pihak bank, lembaga pengarah dan pemegang saham masing-masing.\nBerhubung cadangan menaikkan had pengeluaran i-Citra, beliau berpandangan, hal tersebut perlu diperhalusi dan dikaji secara menyeluruh, selain mengambil kira soal mengimbangkan antara keperluan semasa dan kepentingan simpanan persaraan dengan negara yang dijangka mengalami penuaan penduduk pada 10 atau 15 tahun akan datang." "Negara Perlu Model Perlindungan Sosial Sepanjang Hayat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u2013\u00a0Sistem perlindungan sosial negara perlu beralih daripada model berkebajikan (charity model) yang hanya mensasarkan golongan miskin kepada pendekatan kitaran hidup yang lebih bersifat mencegah kemiskinan dan meningkatkan daya tahan dalam menangani isu kerentanan.\nInstitut Penyelidikan Khazanah\u00a0(KRI) menerusi laporan yang dilancarkan pada hari ini menjelaskan, perlindungan sosial yang berpandukan kitaran hidup ini berupaya untuk menyediakan asas perlindungan pada sepanjang jangka hayat seseorang.\nSistem perlindungan ini berbeza berbanding dengan model sedia ada.\u00a0Model tersebut mengambil kira risiko terhadap tiga peringkat utama kehidupan seseorang individu,\u00a0iaitu semasa kecil, bekerja dan pada usia tua.\nSemasa kecil, seorang kanak-kanak berdepan dengan risiko kemiskinan dan kekurangan zat makanan yang boleh memberikan kesan jangka panjang terhadap perkembangannya.\n\u201cPada usia bekerja, seorang dewasa mungkin tidak dapat bekerja kerana kehilangan upaya atau perlu memenuhi tanggungjawab penjagaan keluarga, serta menghadapi rintangan semasa peralihan daripada alam persekolahan kepada alam pekerjaan.\n\u201cMereka juga mungkin dibuang kerja, menganggur atau bekerja dalam pekerjaan bukan standard atau tidak formal yang tidak mempunyai akses kepada skim insurans sosial.\nPada usia tua pula, seorang warga emas mungkin mempunyai simpanan usia tua yang terhad dan sebilangan besarnya tidak mempunyai jaminan pendapatan asas untuk keselesaan hidup setelah bersara\nBerdasarkan kepada panduan tersebut, KRI dalam laporannya bertajuk Menongkah Badai: Ke Arah Keterangkuman Perlindungan Sosial di Malaysia itu menggariskan beberapa pertimbangan dasar pelaburan perlu diambil kira oleh kerajaan.\nAntaranya\u00a0termasuklah pelaburan dalam manfaat kanak-kanak sejagat bagi memastikan tiada kanak-kanak yang tercicir ketika dalam tempoh penting perkembangan kognitif, fizikal dan sosial.\nKedua, memperluas liputan mandatori skim insurans sosial untuk penduduk dalam usia bekerja, termasuklah kumpulan yang bekerja sendiri, pekerja bukan standard atau/dan pekerja informal, serta golongan di luar tenaga buruh rasmi seperti suri rumah.\nKetiga, dasar itu turut perlu membangunkan pencen insurans sosial untuk usia tua bagi menyediakan jaminan pendapatan asas untuk warga emas bagi menangani cabaran akibat kekangan perlindungan dan ketidakcukupan simpanan pada usia tua.\nKeempat, merealisasikan dasar yang dicadangkan secara berperingkat melalui pemantapan institusi perlindungan sosial, pengenalan atau pindaan undang-undang yang berkaitan, dan peningkatan pendapatan kerajaan melalui reformasi cukai.\nTurut perlu dipertimbangkan adalah mengenai keperluan untuk membangunkan sebuah institusi perlindungan sosial negara dan sistem maklumat bersepadu bagi mentadbir dan melaksanakan inisiatif perlindungan sosial yang dicadangkan." "LHDNM Bersolidariti Merealisasikan Pelaksanaan PPN\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dalam usaha kerajaan melandaikan penularan jangkitan COVID-19, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) turut bersolidariti membantu merealisasikan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan menyumbangkan RM459 590 kepada Akaun Amanah Bencana.\nLHDNM menerusi kenyataan media yang dikeluarkannya pada hari ini menyatakan bahawa sumbangan yang terkumpul tersebut merupakan hasil sumbangan secara sukarela daripada semua pegawai dan kakitangan LHDNM.\nInisiatif ini merupakan kesinambungan usaha LHDNM secara berterusan untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia terus terpelihara.\n\u201cSehubungan dengan itu, sumbangan ini adalah sebagai tanda kebersamaan dan keprihatinan semua pegawai dan kakitangan LHDNM dalam usaha memastikan penularan wabak COVID-19 dapat diputuskan.\nPenyerahan sumbangan ini telah disampaikan oleh YBhg. Dato\u2019 Sri Dr. Sabin Samitah, Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM kepada YBhg. Dato\u2019 Asri Hamidon, Ketua Setiausaha Perbendaharaan\u00a0bertempat di Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim Kuala Lumpur." "Hujan Tak Sekali Jatuh, Simpai Tak Sekali Erat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTatabahasa merupakan huraian yang abstrak tentang sistem sesuatu bahasa. Bagi bahasa Melayu, sejak dahulu lagi, banyak pengkaji asing dan tempatan sudah memerah otak dan menyumbangkan usaha untuk memantapkan huraian tentang tatabahasa bahasa Melayu. Pelbagai kajian tatabahasa telah dihasilkan sebagai rujukan untuk pengguna bahasa Melayu. Seterusnya, hasil kajian tersebut dimurnikan dan dikemaskinikan dari semasa ke semasa agar dapat memberikan huraian yang lebih mantap dan tepat tentang tatabahasa bahasa Melayu.\nSesetengah pengkaji bahasa menghuraikan tatabahasa secara deskriptif, iaitu menghuraikan perlakuan penggunaan bahasa oleh masyarakat seadanya, sama ada yang betul, yang kabur atau yang salah. Tatabahasa sedemikian bersifat luwes dan agak longgar. Walau bagaimanapun, apabila pengkaji bahasa berusaha menetapkan sejumlah rumus tatabahasa yang standard atau baku untuk dijadikan sandaran dalam situasi penggunaan yang rasmi, mereka telah menghasilkan tatabahasa preskriptif atau normatif.\nTatabahasa normatif atau preskriptif dijadikan rujukan penentuan betul-salah dalam hal peperiksaan, surat-menyurat rasmi, ucapan dan mesyuarat rasmi, serta wacana rasmi yang lain. Oleh itu, rumus tatabahasa tersebut harus digubal berdasarkan premis yang betul supaya dapat disokong dan dipertahankan dengan penghujahan yang logik dan bukti yang nyata. Hal ini penting kerana dapat menjauhi masalah yang berikut:\nUsaha secara istiqamah untuk memurnikan tatabahasa bahasa Melayu dapat kita kesan dari semasa ke semasa. Contohnya termasuk yang berikut:\nWalaupun beberapa penambahbaikan sudah dibuat, kita tidak harus terus berpuas hati dan berhenti dalam usaha mendalami dan meneroka tatabahasa bahasa Melayu bagi mengesan apa-apa kelemahan yang wujud. Dengan usaha sedemikian, barulah bahasa Melayu akan semakin hebat dan tepat dalam mata semua pengguna bahasa Melayu.\nKini, terdapat beberapa perkara yang berkaitan dengan tatabahasa bahasa Melayu yang harus kita pertimbangkan semula dan mungkin harus juga kita betulkan seperti yang berikut:\n1. Kata adverba dikatakan dapat menghuraikan kata nama, kata kerja, kata adjektif dan frasa sendi nama. Sebenarnya, kata adverba hanya menghuraikan kata kerja, kata adjektif dan frasa nama. Kata yang menghuraikan kata nama ialah penerang. Kata adverba pula ialah kata keterangan. Sila lihat contoh yang berikut.\na.\u00a0 Persaingan hebat berlaku.\nb.\u00a0 Dia bekerja keras.\nc.\u00a0 Dia sering prihatin.\nd.\u00a0 Dia kerap ke sana.\nDalam ayat a, kata adjektif \u201chebat\u201d berfungsi sebagai penerang yang menerangkan inti frasa nama \u201cpersaingan\u201d. Dalam ayat b, kata adjektif \u201ckeras\u201d berfungsi sebagai adverba yang menghuraikan kata kerja \u201cbekerja\u201d. Dalam ayat c, kata \u201csering\u201d ialah adverba yang menghuraikan kata adjektif \u201cprihatin\u201d. Dalam ayat d, kata \u201ckerap\u201d ialah adverba yang menghuraikan frasa sendi nama \u201cke sana\u201d.\n2. Kata nama yang menandakan masa seperti esok, semalam, kelmarin, lusa, tulat, dahulu dan sekarang dianggap sebagai adverba jati. Sebenarnya, kata-kata tersebut ialah kata nama yang dapat berfungsi sebagai adverba.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\na. Esok ialah cuti.\nb. Dia akan sihat esok.\nc.\u00a0 Dia akan datang esok.\nd.\u00a0 Dia akan ke sana esok.\nDalam ayat a, kata \u201cesok\u201d ialah kata nama yang menjadi subjek ayat. Dalam ayat b, c dan d, kata nama \u201cesok\u201d berfungsi sebagai adverba untuk menghuraikan kata adjektif \u201csihat\u201d, kata kerja \u201cdatang\u201d dan frasa sendi nama \u201cke sana\u201d. Oleh itu, hanya kata yang fungsi tunggalnya menghuraikan kata adjektif, kata kerja dan frasa sendi nama patut dianggap sebagai adverba jati. Contohnya ialah kata-kata yang berkaitan dengan kekerapan seperti sering, jarang-jarang, kerap, acap kali, sentiasa dan selalu.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\na. Dia jarang-jarang\u00a0marah.\nb. Dia jarang-jarang\u00a0berusaha.\nc.\u00a0 Dia jarang-jarang ke sana.\nDalam ayat a, b, dan c di atas, kata adverba jati \u201cjarang-jarang\u201d menghuraikan kata adjektif \u201cmarah\u201d, kata kerja \u201cberusaha\u201d dan frasa sendi nama \u201cke sana\u201d. Kata \u201cjarang-jarang\u201d tidak tercakup dalam golongan kata yang lain.\n3.\u00a0 Kata adjektif dikatakan dapat dikenal pasti jika sesuatu kata dapat didahului atau diikuti oleh kata penguat. Sebenarnya, sesetengah kata adjektif (kata yang menghuraikan kata nama) sememangnya tidak biasa atau tidak boleh disertakan dengan kata penguat. Contoh kata adjektif tersebut termasuk betul, salah, putih, ungu, lonjong, bujur, leper, kempis dan sebagainya.\n4.\u00a0 Pelengkap dikatakan sebagai keterangan yang wajib. Sila lihat contoh yang berikut:\na. Dia berpayungkan kertas.\nb.\u00a0 Dia berbuat jahat.\nc.\u00a0 Dia menetap di Ipoh.\nDalam ayat a, kata nama \u201ckertas\u201d ialah pelengkap wajib bagi kata kerja \u201cberpayungkan\u201d.\u00a0 Dalam ayat b, kata adjektif \u201cjahat\u201d ialah pelengkap wajib bagi kata kerja \u201cberbuat\u201d.\u00a0 Dalam ayat c, frasa sendi nama \u201cdi Ipoh\u201d ialah pelengkap wajib bagi kata kerja \u201cmenetap\u201d.\nWalau bagaimanapun, pelengkap kata nama bagi kata kerja \u201cbermain\u201d dan \u201cbelajar\u201d adalah tidak wajib.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\na.\u00a0 Dia belajar muzik.\nb.\u00a0 Dia belajar.\nc.\u00a0 \u00a0Dia bermain bola.\nd.\u00a0 Dia bermain.\nDalam ayat di atas, kata nama \u201cmuzik\u201d dan \u201cbola\u201d bukan penerang yang menerangkan inti frasa nama tetapi pelengkap tak wajib bagi kata kerja.\nBahasa ialah fenomena yang hidup dan akan terus berkembang. Dengan adanya dapatan ilmu baharu dan pemikiran baharu, huraian tatabahasa sesuatu bahasa akan menjadi semakin kompleks dan berselirat. Hal sedemikian merupakan ciri bahasa hebat yang dapat menyahut cabaran rencam dari zaman ke zaman." "Kerajaan Bakal Mewujudkan 500\u00a0Ribu Peluang Pekerjaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 YAB Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob yakin bahawa sasaran kerajaan untuk mewujudkan 500 000 peluang pekerjaan dapat dicapai melalui Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional (NJCSP).\nMenurut YAB\u00a0Dato\u2019 Sri Ismail Sabri dalam Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yang bermesyuarat buat kali ketiga semalam, sebanyak 354\u00a0276 pencari kerja berjaya mendapatkan pekerjaan sehingga 30 September 2021,\u00a0iaitu melebihi sasaran yang ditetapkan.\nPencari kerja berjaya mendapatkan pekerjaan melalui 27 inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan.\u201d\n\u201cKerajaan juga berjaya mewujudkan lebih daripada 97 000 pekerjaan baharu melalui pelaburan dalam negara dengan 76 peratus daripadanya merupakan kategori mahir dan separuh mahir. Jumlah itu adalah sebahagian daripada sasaran 160 000 pekerjaan baharu yang terhasil daripada pelaburan bagi tahun 2021.\nPerdana menteri yang juga merupakan pengerusi NEC berkata, kerajaan akan melaksanakan NJCSP yang disokong oleh lima pasukan petugas khas di bawah kepimpinan NEC.\nMelalui pelan ini, enam teras utama akan dipertingkatkan dalam penciptaan pekerjaan di Malaysia,\u00a0iaitu meningkatkan kerjasama antara industri dengan akademik, memupuk bakat bagi memenuhi keperluan industri dan memperkasa usahawan tempatan untuk kemajuan ekonomi semasa.\n\u201cEnam teras itu akan menjadi panduan bagi pelaksanaan enam game changers termasuk mengaplikasikan teknologi kecerdasan buatan untuk tujuan pemadanan dan perancangan kerjaya, di samping meningkatkan kebolehpasaran dan kualiti graduan lepasan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET),\u201d jelas beliau.\nSelain itu, hal ini adalah untuk\u00a0memanfaatkan ekonomi gig dalam usaha mencari peluang penjanaan pendapatan, memacu pertumbuhan sektor baharu dan moden,\u00a0serta mempercepat penerapan amalan tempat kerja moden.\nDalam inisiatif ini, NJCSP memberikan cadangan untuk mewujudkan satu platform khusus bagi penyelarasan maklumat semua institusi TVET di Malaysia, serta program dan peluang yang ditawarkan bagi memadankan mereka dengan institusi TVET yang sesuai untuk memudahkan pencarian kerjaya pada masa hadapan.\n\u201cKementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia juga diberikan tanggungjawab untuk membangunkan platform digital sehenti bagi memastikan program latihan dan peningkatan kemahiran yang dilaksanakan oleh mana-mana kementerian atau agensi dapat dilakukan secara berstruktur dan efektif,\u201d ujar beliau.\nMengulas lebih lanjut, mesyuarat juga bersetuju supaya kursus yang ditawarkan adalah berdasarkan keperluan ekonomi semasa, demografi dan keperluan ekonomi setempat.\n\u201cKerajaan yakin strategi NEC termasuk pelaksanaan NJCSP dapat meneruskan usaha pemulihan ekonomi dan meningkatkan lagi penciptaan pekerjaan. Hal ini sekali gus menangani isu-isu, seperti kekurangan pekerja dalam sektor yang tertentu, kesaksamaan peluang untuk golongan rentan serta masalah berkaitan penggajian,\u201d ujar beliau dalam laporan mesyuarat NEC semalam." "Indeks Harga Pengguna Meningkat 2.0 Peratus\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKetua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr.\u00a0Mohd Uzir Mahidin mengumumkan bahawa Indeks Harga Pengguna (IHP) telah meningkat 2.0 peratus pada Ogos lalu kepada 122.5 berbanding dengan 120.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.\n\u201cPeningkatan ini didorong oleh kenaikan dua\u00a0digit dalam kumpulan pengangkutan,\u00a0iaitu 11.0 peratus berikutan penetapan harga siling petrol RON95 kepada RM2.05 seliter bermula Mac 2021 berbanding harga purata RM1.68 pada Ogos 2020.\u201d\n\u201cPerkara ini diikuti oleh hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (1.7 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (1.2 peratus), perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.7 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.6 peratus),\u201d ujar beliau.\nMenurut Ketua Perangkawan Malaysia, bagi perbandingan bulanan, IHP kekal tidak berubah berbanding dengan Julai 2021. Hal ini kerana, kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lainHP masing-masing meningkat 0.1 peratus, namun diimbangi dengan penurunan bagi pengangkutan (-0.1 peratus) dan pendidikan (-0.1 peratus).\n\u201cPenetapan harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol oleh kerajaan yang berkuat kuasa\u00a0pada\u00a01 Ogos lalu sedikit sebanyak meredakan inflasi bagi subkumpulan minyak dan lemak daripada 0.2 peratus kepada negatif 0.4 peratus pada Julai 2021,\u201d ujar beliau.\nIndeks teras turut meningkat 0.6 peratus pada Ogos 2021 berbanding dengan bulan yang sama tahun sebelumnya.\nTambah beliau, indeks teras meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali item makanan segar yang mempunyai harga tidak menentu serta harga yang dikawal.\n\u201cPeningkatan ini telah disumbangkan oleh kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (1.7 peratus), pengangkutan (0.7 peratus), perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.7 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.6 peratus), restoran dan hotel (0.6 peratus) dan kesihatan (0.3 peratus),\u201d ujar beliau dalam sidang akhbar hari ini." "KWSP Catat RM6.79 Bilion Pendapatan Pelaburan bagi Separuh Tahun Pertama 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Bagi separuh akhir tahun pertama 2021, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM34.05 bilion sehingga 30 Jun 2021 (1H 2021).\nKetua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjelaskan bahawa sebanyak 25 peratus peningkatan pada pendapatan pelaburan, iaitu RM6.79 bilion berbanding dengan RM27.26 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2020.\nJumlah pendapatan pelaburan kasar untuk suku tahun kedua (S2 2021) ialah RM14.77 bilion, RM0.35 bilion lebih rendah daripada RM15.12 bilion yang dicatatkan pada suku tahun yang sama tahun lalu. Ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan bagi S2 2021, iaitu RM7.89 bilion daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar.\nPrestasi kukuh yang dicapai oleh KWSP pada 1H 2021 ini merupakan inisiatif daripada pemulihan yang progresif di pasaran ekuiti dan kebanyakan kelas aset yang lain, tatkala pasaran global mengalami kebangkitan semula.\n\u201cPelaksanaan program vaksin COVID-19 sedang giat dijalankan dan pembukaan semula sektor ekonomi telah meningkatkan prestasi ekuiti di pasaran maju.\n\u201cWalau bagaimanapun, prestasi ekuiti di pasaran baru muncul adalah lebih perlahan berikutan peningkatan jangkitan COVID-19 di beberapa negeri, dan disusuli pula dengan kejatuhan harga saham yang ketara akibat tindakan pihak berkuasa China yang mengetatkan peraturan terhadap sesetengah sektor.\nSebagai polisi untuk mengekalkan portfolio yang sihat, KWSP mengamalkan turun nilai kos terhadap ekuiti tersenarai. Kepelbagaian pelaburan KWSP dalam pelbagai kelas aset, pasaran dan mata wang yang berbeza dapat memberikan kestabilan pendapatan dan menyumbang nilai tambah kepada pulangan keseluruhan.\nSetakat akhir Jun 2021, aset pelaburan KWSP ialah RM989.14 bilion dan 37 peratus daripadanya merupakan pelaburan luar negara. Pada S2 2021, pelaburan luar negara dilaporkan telah menjana pendapatan RM8.71 bilion, iaitu 59 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar.\nPada masa yang sama, Datuk Seri Amir Hamzah turut berkata, KWSP amat bimbang terhadap keselamatan persaraan rakyat, terutamanya apabila 46 peratus ahli KWSP yang berumur di bawah 55 tahun mempunyai kurang daripada RM10 000 dalam simpanan mereka.\nJelas pandemik memberikan kesan kejatuhan yang ketara dalam peratusan ahli yang mencapai Simpanan Asas (RM240 000 pada 55 tahun) daripada 36 peratus kepada 27 peratus, susulan daripada pengeluaran yang dibuat untuk menampung pendapatan mereka semasa krisis ini.\n\u201cPandemik ini juga telah mencetuskan peningkatan kepada jumlah pekerja gig dan masalah ketidakcukupan simpanan persaraan akibat pendapatan yang tidak tetap atau stabil. Dalam hal ini, manfaat pekerja dan liputan perlindungan sosial mereka juga bakal terjejas.\nDalam memastikan perlindungan sosial terpelihara, beliau menegaskan bahawa skim KWSP perlu dilakukan bagi mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal, terutamanya pekerja gig. Hal ini demikian kerana kesan pandemik bukan sahaja melibatkan kesejahteraan masa depan pekerja, malahan akan membebankan pihak kerajaan. Dengan adanya skim ini, mereka berpeluang untuk menabung seawal mungkin dan merancang persaraan yang lebih signifikan.\nSelain itu, KWSP turut melancarkan kemudahan i-Sinar dan i-Citra untuk meringankan beban kewangan ahli. Berdasarkan kajian, hampir 89 peratus pemohon i-Sinar dan 86 peratus pemohon i-Citra menyatakan bahawa pengeluaran yang dibuat digunakan untuk menampung perbelanjaan harian dan keperluan kewangan yang mendesak.\nBerpegang pada objektif, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP berkata, \u201cKWSP akan tetap komited dalam pelaksanaan Alokasi Aset Strategik dan sentiasa peka terhadap perkembangan profil risiko pasaran agar penambahbaikan dapat dilakukan.\u201d\nWalau bagaimanapun, KWSP akan memastikan ahlinya mampu menjana pulangan semula daripada simpanan persaraan mereka, di samping melindungi kesejahteraan pada masa akan datang." "RMK12: Tujuh Projek Infrastruktur Utama Dilaksanakan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Kerajaan menyenaraikan tujuh projek infrastruktur utama yang akan dilaksana dan disempurnakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).\nAntara projek yang diusahakan, termasuklah Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa Satu yang menghubungkan hala Rawang ke Salak Selatan dijangka siap pada tahun 2022; Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru,\u00a0iaitu jajaran akhir landasan berkembar elektrik dari Padang Besar, Perlis ke Johor Bahru, Johor yang dijadualkan\u00a0siap pada tahun 2023.\nSelain itu, pelaksanaan projek\u00a0penerusan pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan tarikh jangkaan siap pada tahun 2026; Projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan stesen Bukit Chagar, Johor Bahru dengan stesen Woodlands North di Singapura yang akan mula dibina pada hujung tahun 2021.\nTurut dilaksanakan projek Lebuhraya Pantai Barat yang melibatkan negeri Selangor dan Perak dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024; projek Central Spine Road dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai, Kelantan dan Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai yang masing-masing dijangka siap pada tahun 2025.\nDalam pada itu, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri, ketika membentangkan Usul Mengenai RMK12 di Dewan Rakyat pada hari ini mengumumkan kerajaan bakal mewujudkan model baharu bagi pembiayaan projek infrastruktur yang melibatkan perkongsian awam dan swasta.\nJelasnya, di bawah model yang dikenali sebagai Perkongsian Awam Swasta (PPP) 3.0 itu, model pelaksanaan projek tidak akan melibatkan komitmen kewangan kerajaan dan menggunakan kaedah Request for Proposal (RFP).\n\u201cPelaksanaan projek-projek di bawah model baharu ini dijangka dapat diumumkan pada pertengahan tahun 2022.\n\u201cJawatankuasa khas PPP yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara akan ditubuhkan bagi membolehkan perundingan projek PPP dapat diselesaikan dalam tempoh setahun.\n\u201cKerajaan bakal menggunakan model baharu untuk tujuan pembiayaan projek infrastruktur di masa akan datang,\u201d katanya." "Pegangan Ekuiti Korporat Bumiputera Hanya 17.2 Peratus\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Pemilikan ekuiti korporat Bumiputera masih belum mencapai sasaran yang ditetapkan,\u00a0iaitu sekurang-kurangnya 30 peratus pegangan dalam sektor berkenaan.\nYAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri menjelaskan bahawa status pemilikan ekuiti sektor korporat berasaskan nilai pasaran tahun 2019 menunjukkan pegangan ekuiti Bumiputera hanya mencapai 17.2 peratus.\nPegangan asing masih merupakan kumpulan terbesar dalam pemilikan ekuiti korporat negara, iaitu 45.5 peratus diikuti bukan Bumiputera (25 peratus) dan namaan (12.3 peratus).\nSehubungan\u00a0dengan\u00a0itu, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri\u00a0turut menyatakan bahawa kerajaan akan memperkenalkan kerangka jaringan keselamatan ekuiti bagi memastikan penjualan saham atau syarikat Bumiputera hanya ditawarkan dan dijualkan kepada konsortium, syarikat atau individu Bumiputera yang lain.\n\u201cDi samping itu, pegangan dan pelupusan pemilikan oleh syarikat Bumiputera akan dikawal selia oleh kementerian dan agensi berkaitan dengan selaku pengawal selia sektor,\u201d katanya ketika membentangkan Usul Mengenai RMK12 di Dewan Rakyat pada hari ini.\nDalam usaha menyelaras inisiatif tersebut, kerajaan bakal mewujudkan semula Bahagian Kemakmuran Bumiputera dengan mandat dan fungsi yang lebih jelas melalui penugasan semula pegawai pada setiap kementerian dan agensi kerajaan.\nSatu rangka kerja tindakan pembangunan Bumiputera yang akan diwujudkan bagi menambah baik tadbir urus pelaksanaan agenda Bumiputera itu bakal diumumkan pada penghujung tahun ini.\nJelas beliau,\u00a0daya tahan dan kemapanan perniagaan Bumiputera akan dipertingkatkan bagi mencapai sasaran 15 peratus sumbangan Perniagaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS)\u00a0Bumiputera kepada Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025.\nUsaha mencapai sasaran tersebut disokong melalui penyediaan pembiayaan dan pelaksanaan program baharu,\u00a0antaranya termasuklah dana Kemakmuran Bumiputera untuk syarikat Bumiputera dan Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi kontraktor Bumiputera.\nPembiayaan dan pelaksanaan program itu turut merangkumi usaha menarik penyertaan lebih ramai usahawan Bumiputera untuk menceburi bidang ekonomi digital dan industri yang mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi." "Gelembung Pelancongan Langkawi, Merangsang Kembali Ekonomi Tempatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2013 Pembukaan Langkawi sebagai destinasi perintis bagi program gelembung pelancongan (Travel Bubble) kini mendapat perhatian rakyat tempatan untuk kembali bergerak dalam kebiasaan baharu setelah lama berada di rumah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).\nMenurut Encik Mahmuzi Osman, Pengurus Kompleks Haji Ismail Group (HiG), semasa pelaksanaan PKP pada Mac tahun lepas, kebanyakan rakyat tempatan terutamanya pengusaha dan peniaga amat terkesan apabila kedai tidak boleh beroperasi dan hanya sektor makanan dibenarkan untuk berniaga.\n\u201cKami amat bersyukur apabila kerajaan, khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) mengumumkan pembukaan semula Pulau Langkawi kepada pelancongan. Gelembung pelancongan ini banyak membantu peniaga dan pengusaha di sekitar Langkawi bagi menghidupkan semula perniagaan mereka dan menjana pendapatan.\u201d\n\u201cSejak 16 September yang lalu, perniagaan kami dibenarkan beroperasi sepenuhnya seperti biasa dan pelancong mula masuk ke Langkawi. Dalam tempoh seminggu ini, pelancong yang masuk ke dalam Kompleks HiG sangat memberangsangkan,\u201d kongsi Encik Mahmuzi ketika ditemu ramah oleh sidang editor\u00a0Dewan Ekonomi.\nTambah beliau, HiG menyambut baik hasrat kerajaan untuk merancakkan kembali ekonomi tempatan, di samping memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dengan membenarkan hanya 50 peratus pengunjung masuk ke dalam premis pada satu-satu masa.\nSebelum itu, YB Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri MOTAC menjelaskan bahawa pembukaan sektor pelancong domestik di Pulau Langkawi bersempena Hari Malaysia pada 16 September 2021 adalah sebagai tanda keprihatinan kerajaan kepada rakyat Malaysia yang telah mencapai tahap imunisasi bagi pemberian vaksinasi, di samping merancakkan semula industri pelancongan selepas lebih setahun terkesan akibat pandemik COVID-19.\nSementara itu, Megat Sharifuddin, seorang peniaga produk ubat-ubatan dan herba berpendapat bahawa gelembung pelancongan yang dilaksanakan ini jelas memberikan peluang kepada peniaga dan pekerja untuk kembali aktif menjalani aktiviti perniagaan dan sekali gus dapat merangsang ekonomi tempatan di Langkawi.\nZarina Kasim, 43 tahun, seorang ibu tunggal yang mengusahakan sebuah kedai makan turut menyatakan bahawa kedatangan jumlah pelancong ke Langkawi yang kian meningkat banyak membantu beliau untuk meneruskan kelangsungan hidup dan menyara keluarga, terutamanya dalam perbelanjaan anak-anak.\n\u201cKetika kedai tidak dapat dibuka, kami hanya bergantung pada sumbangan pakej bantuan daripada kerajaan, selain daripada duit simpanan dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),\u201d kongsi pengusaha kedai makan itu.\nSeorang pemandu Grab yang dikenali sebagai Aziz pula menjelaskan bahawa jumlah penumpang yang menempah perkhidmatan e-panggilan turut meningkat sejak kerajaan memperkenalkan Langkawi sebagai perintis bagi program gelembung pelancongan.\nMengulas lebih lanjut berkaitan dengan pembukaan gelembung pelancongan ini, rata-rata rakyat tempatan, khususnya pekerja dan peniaga di Langkawi memberikan maklum balas yang positif. Hal ini secara tidak langsung dapat menyokong kerajaan dalam usaha merancang yang lebih banyak pembukaan gelembung pelancongan domestik pada masa akan datang." "Eksport Malaysia Terus Meningkat, Mencatatkan Pertumbuhan 18.4 Peratus\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nEksport Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan positif berbanding dengan import, iaitu berkembang 18.4 peratus kepada RM95.6 bilion dari tahun ke tahun.\nKetua Perangkawan Malaysia, Dato\u2019 Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa\u00a0eksport Malaysia pada Ogos 2021 mencatat pertumbuhan dua digit 18.4 peratus dari tahun ke tahun, disokong oleh eksport domestik dan eksport semula. Hal ini menunjukkan peningkatan tahun ke tahun 12\u00a0bulan berturut-turut sejak September 2020.\n\u201cEksport domestik berjumlah RM79.1 bilion turut menyumbang 82.7 peratus kepada jumlah eksport, iaitu berlaku peningkatan sebanyak 18.7 peratus. Manakala eksport semula pula menyumbang peratusan dengan nilai RM16.5 bilion, meningkat 16.7 peratus tahun ke tahun,\u201d ujar beliau.\nSelaras dengan pertumbuhan tahunan, sejumlah 159 daripada 255 kumpulan barangan eksport menunjukkan peningkatan\u00a0yang positif\u00a0berbanding dengan tahun sebelumnya.\nJabatan Perangkaan Malaysia turut melaporkan bahawa peningkatan eksport disumbangkan oleh eksport yang lebih tinggi ke negara-negara seperti Singapura (RM2.4 bilion), Jepun (RM1.8 bilion), Amerika Syarikat (RM1.2 bilion), Indonesia (RM1.1 bilion), Hong Kong (RM1.0 bilion), Australia (RM825.8 juta) dan China (RM814.8 juta).\n\u201cDari segi kumpulan produk pula, peningkatan eksport didorong oleh keluaran petroleum (RM2.6 bilion);\u00a0barangan elektrik dan elektronik (RM2.2 bilion);\u00a0kimia dan bahan kimia (RM2.2 bilion);\u00a0barangan perkilangan logam (RM1.9 bilion);\u00a0gas asli cecair (RM1.9 bilion); minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasakan minyak kelapa sawit (RM1.4 bilion) dan barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (RM1.1 bilion),\u201d\u00a0ujar beliau dalam sidang media hari ini." "Dakwaan Kebocoran Data Pembayar Cukai Terhadap LHDNM Tidak Berasas\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013\u00a0Berkaitan dengan laporan dalam satu portal yang menyatakan bahawa empat juta data yang bocor diperoleh daripada laman sesawang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia\u00a0(LHDNM) melalui\u00a0Application Programming Interfaces\u00a0(API) yang dibuat untuk myIDENTITY di bawah seliaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah sama sekali tidak benar.\nPada hakikatnya, LHDNM hanya merupakan pengguna dan bukannya pemilik kepada sistem myIDENTITY tersebut.\nBagi terus menyakinkan pelanggan, khususnya pembayar cukai terhadap keselamatan data dan maklumat mereka, siasatan dalaman telah dijalankan dan membuktikan bahawa tiada berlaku sebarang kebocoran data dan maklumat seperti yang didakwa.\n\nLHDNM amat kesal dengan laporan dan dakwaan berkenaan kerana perkara tersebut boleh menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap pengurusan dan pentadbiran LHDNM.\n\u201cOleh itu, LHDNM sedang bekerjasama dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melihat semua kemungkinan berkenaan dengan dakwaan ini.\nDalam pada itu, LHDNM turut menegaskan bahawa orang ramai perlu lebih berhati-hati dengan perkara yang tular seumpama ini. Hal ini berkemungkinan besar dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan niat untuk kepentingan tertentu serta mengelirukan masyarakat.\nMelihat akan kesan kejadian ini, LHDNM memberikan jaminan bahawa semua data dan maklumat yang berada dalam simpanan LHDNM adalah selamat dan sentiasa dilindungi dengan teknologi keselamatan data yang diiktiraf,\u201d jelas LHDN menerusi kenyataan media pada hari ini." "Pendigitalan Membantu Pengusaha F&B Tempatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u2013 Saladplate dan Food Market Hub (FMH) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menyokong pengusaha syarikat makanan dan minuman\u00a0(F&B)\u00a0tempatan dalam usaha meningkatkan sumber pencarian perniagaan melalui sebuah pangkalan data digitalisasi global yang melibatkan lebih daripada 90 buah negara.\n\u201cDengan kerjasama ini, syarikat F&B tempatan boleh mendapatkan barangan secara digital melalui satu platform yang memaparkan pelbagai pilihan yang tersedia daripada seluruh dunia.\n\u201cPlatform ini mempunyai proses pemilihan yang ketat, dengan hanya menampilkan jenama-jenama yang disahkan dan berada di Malaysia. Hal ini dikatakan demikian dapat mencipta sebuah persekitaran digital yang selamat agar pembekal dan pembeli dapat dilindungi,\u201d jelas\u00a0kata Anthony See, Pengasas Food Market Hub dalam usaha memberikan peluang pada syarikat tempat untuk meneroka pasaran digital.\nBagi memperkasa pengusaha F&B untuk menguruskan inventori perniagaan mereka dengan lebih cekap, terdapat beberapa ciri yang ditonjolkan dalam penggunaan platform tersebut seperti menyelaraskan proses komunikasi antara syarikat dengan pembekal dengan lebih mudah.\nSelain itu, syarikat dapat mengakses sistem ke\u00a0Cloud-Based Procurement Solution\u00a0yang dikawal oleh kecerdasan buatan (AI), iaitu sebuah alat yang dilengkapi ciri pembelajaran kendiri bagi membantu mereka menguruskan inventori dan perbelanjaan dengan lebih efektif.\nDengan jejak digital global platform ini, pembekal syarikat F&B tempatan dapat mengakses sebuah pangkalan data yang merangkumi lebih 3000 pengendali dan penjual dari seluruh dunia dan memberikan peluang untuk mendapatkan produk unik yang tiada di pasaran tempatan.\n\u201cFMH melengkapkan visi Saladplate untuk memperkemaskan hubungkan pembekal antarabangsa dengan pasaran tempatan.\n\u201cKerjasama ini jelas memudahkan setiap proses untuk pengusaha F&B daripada penemuan produk, pengendalian proses import dan pengedaran yang kompleks, promosi dalam talian serta di luar talian, sehinggalah ke pengurusan perbelanjaan perniagaan yang lebih cekap,\u201d jelas Dave Chan, Pengasas Saladplate.\nSehingga kini, platform tersebut telah membolehkan pelbagai jenama dan syarikat terkemuka, sama ada dalam pasaran tempatan mahupun antarabangsa, seperti Kentucky Fried Chicken, Din Tai Fung, The Fish Bowl, Salad Atelier dan lain-lain untuk berkembang dengan lebih maju, di samping pengurusan kos yang lebih jimat.\nLeong Tin Fui, Pengarah FK Supply, sebuah pembekal buah-buahan dan sayuran segar di Selangor dan Kuala Lumpur berkata, \u201cPlatform ini dapat menjimatkan sebanyak 61 peratus dalam kos pengambilan pekerja pentadbiran, mengurangkan kesalahan dokumentasi, serta 83 peratus penjimatan masa dalam kemasukan data. Platform ini sangat penting untuk membantu syarikat kami kekal bertahan, lebih-lebih lagi ketika pandemik COVID-19.\u201d" "Gelembung Pelancongan Langkawi Raih Lebih RM15 Juta\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLANGKAWI- Industri pelancongan di Langkawi berjaya menjana pendapatan kira-kira RM15.97 juta melalui projek rintis gelembung pelancongan yang bermula pada 16 September lalu.\nKetua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Encik Nasaruddin Abdul Muttalib menjelaskan, projek rintis tersebut telah mencapai satu kejayaan yang boleh dibanggakan.\nSehingga 30 September, Langkawi telah menerima sebanyak 38 748 pelancong secara keseluruhan, iaitu melebihi daripada jumlah sasaran awal sekitar 30 000 orang. \u201cJika jumlah sebegini dapat dikekalkan, tidak mustahil sasaran pihak kerajaan untuk menerima 400 000 pelancong sehingga Disember tahun ini dapat dicapai,\u201d jelas beliau dalam satu kenyataan pada hari ini.\nMenurut Nasaruddin, daripada jumlah itu, sebanyak 26 377 pelancong masuk ke Langkawi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, manakala 7480 orang menggunakan Terminal Feri Kuah dan 4891 orang masuk melalui Jeti Tanjung Lembong. Jelas beliau lagi, pembukaan semula Langkawi dilihat mampu menjana kembali pendapatan penduduk tempatan.\n\u201cLADA juga menyasarkan sebanyak 60 000 orang pelancong akan mengunjungi Langkawi dalam bulan ini sahaja,\u201d ujar beliau. Sementara itu, LADA juga sedang berusaha untuk melaksanakan gelembung pelancongan antarabangsa dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).\nGelembung pelancongan antarabangsa itu kini sedang menunggu kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan. Menurutnya Nasaruddin, negara seperti Rusia, Poland, Singapura dan China telah menyatakan hasrat untuk menjadi tetamu terawal untuk melancong ke Langkawi.\n\u201cRundingan juga telah dibuat dengan syarikat penerbangan antarabangsa dan tempatan untuk merancang penerbangan berjadual dan penerbangan sewa khas bagi gelembung pelancongan antarabangsa,\u201d jelas beliau." "Menaikkan Kembali\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nDaripada ketiga-tiga ayat yang berikut, ayat manakah yang tepat?\nDaripada:\nAida Nursyakira Affandi,\nKuala Selangor, Selangor." "RMK12: Penggulungan Bermula Hari Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR- Hari ini bermulanya sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat oleh kementerian-kementerian selepas perancangan negara untuk tempoh 2021 hingga 2025 itu dibahaskan di Parlimen.\nSebanyak 106 Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian pada sesi perbahasan RMK12 selepas dibentangkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob pada 27 September lalu.\nAntara isu yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Parlimen dalam perbahasan selama empat hari bermula pada 28 September itu termasuklah kesihatan, vaksin COVID-19, pembangunan Sabah dan Sarawak, kemiskinan, impak pascaCOVID-19 dan pengurusan bekalan air negara.\nBerdasarkan takwim Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 2021 di portal Parlimen Malaysia, sesi penggulungan oleh kementerian dijadualkan berlangsung sehingga Khamis ini.\nMenurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, persidangan pada hari ini dimulakan dengan sesi Waktu Pertanyaan Menteri melibatkan soalan untuk YAB Perdana Menteri berkaitan dengan sekuriti tenaga (energy security) di negara ini ketika berlaku krisis tenaga global dan hala tuju untuk meningkatkan sekuriti tenaga negara.\nDua lagi soalan untuk sesi berkenaan adalah untuk Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri berkaitan dengan cadangan kementerian itu menetapkan paras siling komisen harga jualan bilik melalui OTA (Online Travel Agent) dan Menteri Perpaduan Negara berkaitan dengan sejauh mana Tabika Perpaduan memainkan peranan bagi memupuk nilai-nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.\nBagi waktu pertanyaan jawab lisan pula, YB Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) meminta Menteri Pengajian Tinggi YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menyatakan tahap kebolehpasaran graduan semasa pandemik COVID-19 dan langkah bagi menyediakan graduan yang berdaya saing di pasaran pekerjaan.\nTurut ditanya adalah soalan berkaitan dengan keberkesanan modul sesi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) yang diajukan oleh YB Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) kepada Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk\u00a0 Dr. Mohd Radzi Md. Jidin." "Isu Kemampuan Beli, Penawaran Berlebihan dalam Sektor Hartanah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Sektor jualan hartanah negara bakal terus berhadapan dengan cabaran untuk menangani isu asas,\u00a0iaitu masalah berkaitan\u00a0dengan\u00a0kemampuan pembelian, polisi dan penawaran\u00a0yang berlebihan.\nKenanga Investment Bank Berhad (Kenanga) dalam laporan kajiannya menjelaskan bahawa\u00a0meskipun jualan hartanah menunjukkan prestasi\u00a0yang\u00a0baik setakat tahun ini, namun pencapaian itu dilihat akan diuji apabila diskaun Kempen Pemilikan Rumah (HOC) tamat pada akhir tahun ini.\nBank pelaburan itu menjangkakan hasil jualan akan mula menunjukkan penurunan pada tahun depan sekiranya diskaun kempen pemilikan rumah itu tidak disambung.\nDalam pada itu, jumlah hartanah tidak terjual pula merekodkan angka tertinggi sejak tahun 2015 bagi separuh pertama tahun ini,\u00a0iaitu sebanyak 172 360 unit dengan Johor kekal menjadi negeri tertinggi 42 973 unit diikuti Kuala Lumpur (32 543) dan Selangor (29 555).\n\u201cBerdasarkan data dari Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), kami percaya masalah bekalan berlebihan bermula pada tahun 2015 ketika kediaman yang diservis mula membanjiri pasaran secara besar-besaran walaupun langkah pengenduran mula dilaksanakan pada tahun 2014,\u201d menurut laporan itu.\nMenurut bank tersebut,\u00a0pertumbuhan unit yang tidak terjual di dua kawasan yang memiliki asas lebih tinggi,\u00a0iaitu Kuala Lumpur dan Selangor masing-masing merekodkan peningkatan tiga serta dua kali ganda sejak tahun 2014.\nBeberapa negeri lain seperti Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Sabah turut menunjukkan pertumbuhan ketara dalam unit yang tidak terjual.\nKenangan berpendapat bahawa unit tidak terjual turut menekan harga rumah itu tidak akan pulih pada\u00a0masa terdekat disebabkan oleh jumlahnya yang masih agak besar dalam pasaran.\nNilai Harga Indeks Rumah (HPI) yang mengukur perubahan harga rumah bagi suku kedua tahun ini juga buat pertama kalinya merekodkan penguncupan,\u00a0iaitu -1.2 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas.\n\u201cSituasi ini dipercayai adalah sebahagiannya disebabkan oleh pandemik, namun kami berpandangan trend HPI secara dasarnya telah menuju kepada pertumbuhan negatif dan pandemik hanya mempercepatkan proses tersebut.\n\u201cKami percaya trend ini berpunca khususnya disebabkan oleh masalah penawaran berlebihan dan kemampuan beli,\u201d ujarnya." "LHDNM Menganjurkan Seminar Percukaian Kebangsaan 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013 Sebagai acara cukai pendidikan tahunan, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) akan mengadakan Seminar Percukaian Kebangsaan (SPK) 2021 secara dalam talian pada 9 hingga 16 November 2021.\nLHDNM dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan bahawa penganjuran seminar itu merupakan platform untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan pematuhan cukai dalam kalangan masyarakat.\nDalam pada itu, seminar ini juga bertujuan untuk menyampaikan maklumat terkini berkaitan dengan sebarang pindaan dalam Akta Cukai Pendapatan 1967 dan akta-akta berkaitan yang dibentangkan melalui Belanjawan 2022.\n\u201cSPK 2021 akan menampilkan barisan para penceramah yang terdiri daripada pegawai kanan LHDNM yang mempunyai pengalaman tinggi dalam memerihalkan percukaian negara.\u201d\n\u201cSeminar ini akan mengupas topik berkaitan dengan \u2018Cadangan Belanjawan 2022\u2019 dan \u2018Percukaian e-Dagang di Malaysia\u2019 melalui tiga sesi, iaitu pada 9 November 2021, 11 November 2021 dan 16 November 2021.\u201d\nPara peserta boleh membuat pendaftaran secara dalam talian mulai 18 Oktober hingga 16 November 2021 menerusi portal rasmi LHDNM.\nLHDNM turut menyarankan pelibatan orang ramai untuk menyertai seminar ini. Hal ini demikian kerana seminar ini berupaya memberikan kesedaran bahawa melaporkan dan membayar cukai merupakan tanggungjawab warganegara demi kemajuan serta kemakmuran negara." "Pelaburan Berkualiti Tinggi Tingkatkan Taraf Hidup Rakyat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR- Pelaburan berkualiti tinggi mampu menjadikan rakyat Malaysia menikmati taraf hidup yang lebih tinggi dan membolehkan rakyat mempunyai simpanan yang lebih banyak, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YB Datuk Seri Mustapa Mohamed.\n\u201cTiada jalan pintas dan kita tidak boleh hanya menambah semula menggunakan sumber kerajaan. Sumber itu melibatkan pekerjaan yang berkualiti,\u201d jelas beliau dalam satu webinar bertajuk \u201cMalaysia Economic Direction \u2013 What to Expect Next\u201d anjuran UOB Kay Hian Wealth Advisors pada Selasa.\nBeliau berpandangan demikian semasa menjawab soalan berkaitan dengan cara untuk menangani kadar simpanan rakyat Malaysia yang rendah, terutamanya melibatkan golongan yang telah mengeluarkan wang daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka semasa pandemik COVID-19.\n\u201cPelaburan akan memainkan peranan yang penting, bukan hanya kepada pelabur asing, malah pada peringkat \u00a0domestik. Kita perlu lebih agresif dalam usaha menarik pelaburan berkualiti,\u201d jelas beliau dengan merujuk kejayaan sebelum ini di negeri seperti Pulau Pinang, Johor, dan Sarawak apabila pelbagai sektor seperti elektrik dan elektronik serta minyak dan gas yang telah berkembang pesat.\n\u201cSecara ringkasnya,kita perlu meningkatkan kemahiran, membawa masuk pelaburan berkualiti, melatih lebih banyak pekerja selain perlu keluar daripada operasi bergaji rendah dan hal ini juga mempunyai kaitan dengan gaji minimum,\u201d jelas beliau.\nPertumbuhan pendapatan menjadi faktor penting untuk memastikan Malaysia dapat mencapai 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera berbanding dengan 17.2 peratus pada tahun 2019. Tambah beliau, hal itu dapat dilakukan dengan menyimpan melalui institusi Bumiputera seperti Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Lembaga Tabung Haji serta institusi pembangunan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA).\n\u201cUntuk berbuat demikian,kita perlu meningkatkan pendapatan, pengetahuan dan kemahiran supaya mereka dapat menyimpan lebih banyak dalam dana seperti ASB (Amanah Saham Bumiputera) atau Tabung Haji,\u201d jelas beliau." "Pembukaan Sektor Ekonomi, Kadar Pengangguran Turun 4.6 Peratus\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kerajaan terus optimis dalam usaha pelaksanaan Pelan Pemulihan Nasional (PPN) dengan pembukaan sektor ekonomi, berikutan hasil positif daripada penurunan kes jangkitan COVID-19 serta peningkatan dos vaksinasi yang dijangka memberikan kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.\nJabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan hari ini dalam siaran Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, kadar pengangguran di Malaysia telah menurun kepada 4.6 peratus pada Ogos 2021, iaitu bersamaan dengan 748.8 ribu orang.\n\nKedudukan tenaga buruh dilihat semakin baik pada Ogos 2021 berikutan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan untuk kembali beroperasi dengan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP). Hal ini ditunjukkan daripada peningkatan dalam guna tenaga dan penurunan kadar pengangguran pada bulan tersebut.\n\u201cBilangan penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.5 peratus dari bulan ke bulan kepada 15.38 juta orang pada Ogos 2021 dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk meningkat 0.2 mata peratus kepada 65.2 peratus.\n\u201cManakala bilangan penganggur menurun sebanyak 3.8 peratus kepada 748.8 ribu orang. Ini merupakan penurunan pengangguran yang pertama setelah merekodkan peningkatan pada Jun dan Julai yang lalu,\u201d jelas Dato\u2019 Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia.\nDari aspek sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus mencatatkan perubahan positif dari bulan ke bulan, terutamanya dalam aktiviti makanan dan minuman (F&B); perdagangan borong dan runcit; dan kesihatan kemanusiaan dan kerja sosial.\nPada masa yang sama, guna tenaga dalam sektor pembuatan dan pembinaan juga merekodkan pertumbuhan positif setelah mencatatkan penurunan pada bulan sebelumnya, sementara sektor pertanian dan perlombongan, dan pengkuarian kekal dalam trend menurun.\nTambahan pula, dari segi taraf pekerjaan, kategori pekerja yang merangkumi 77.4 peratus telah meningkat sebanyak 0.2 peratus, iaitu 11.90 juta orang setelah mencatatkan penurunan bagi tempoh dua bulan sebelumnya. Begitu juga, penduduk bekerja sendiri terus meningkat sejak Februari dengan peningkatan dari bulan ke bulan sebanyak 1.4 peratus, iaitu sebanyak 2.54 juta orang.\nPada bulan tersebut, pengoperasian semula lebih banyak aktiviti ekonomi mendorong bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu terus menurun sebanyak 13.5 peratus kepada 671.2 ribu orang.\nPenganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 83.8 peratus daripada jumlah penganggur. Kumpulan ini menurun sebanyak 3.7 peratus kepada 627.5 ribu orang. Daripada jumlah penganggur yang aktif, 53.8 peratus merupakan mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun meliputi 9.0 peratus.\nMengulas dengan lebih lanjut berkaitan dengan kedudukan tenaga buruh, Ketua Perangkawan berkata, statistik yang dikeluarkan ini memperihalkan kedudukan penawaran buruh berdasarkan Survei Tenaga Buruh.\nWalaupun cabaran akan berterusan pada bulan berikutnya disebabkan oleh situasi kesihatan awam yang tidak menentu, pelaksanaan PPN yang membenarkan pembukaan semula ekonomi dengan lebih selamat dijangka akan dapat memacu ekonomi negara untuk pulih secara progresif.\n\u201cPeralihan positif ini memberikan isyarat bahawa prestasi ekonomi Malaysia akan pulih semula secara beransur-ansur susulan lebih banyak perniagaan kembali beroperasi dengan kapasiti yang lebih.\n\u201cPrestasi ekonomi negara yang menggalakkan akan meningkatkan permintaan buruh termasuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam ekonomi. Oleh itu, ekonomi dan pasaran buruh dijangka pulih secara berperingkat pada bulan-bulan akan datang." "Integriti dalam Pengurusan Kewangan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMemang tidak dapat dinafikan, dalam mana-mana buku ekonomi di dunia pasti menggariskan empat elemen sebagai faktor pengeluaran dan sumber ekonomi, iaitu tanah, buruh, modal, dan keusahawanan. Namun begitu, laporan kertas kerja bertajuk \u201cPutting Integrity into Finance: A Purely Positive Approach\u201d oleh dua orang penyelidik terkenal antarabangsa, Werner Erhardst dan Micheal C. Jensen, telah memberikan anjakan paradigma kepada teori asas ekonomi ini dalam konteks kewangan.\n\nMenurut laporan tersebut, integriti atau kejujuran, diunjurkan sebagai elemen tambahan yang sama pentingnya seperti faktor-faktor pengeluaran dan sumber ekonomi lain. Integriti dilihat mempunyai implikasi signifikan ke atas produktiviti dan kualiti hidup, iaitu ketirisan integriti pasti akan mengurangkan impak kuasa kewangan.\nMemang benar bahawa skop integriti itu merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Nilai integriti melangkaui perbezaan agama dan budaya. Pergilah ke pelosok dunia mana pun, pastinya tiada sesiapa yang menafikan kepentingan integriti dalam kehidupan. Walau bagaimanapun, integriti dalam kewangan dilihat sebagai antara aspek integriti yang paling mencabar. Buktinya, statistik tangkapan jenayah rasuah di Malaysia telah mencatatkan peningkatan sebanyak 11.63 peratus dari tahun 2018 ke 2020. Jenayah tersebut merangkumi kesalahan menerima dan memberi rasuah, tuntutan palsu, salah guna kedudukan, pengubahan wang haram, dan lain-lain. Susulan daripada itu, jelaslah bahawa nilai integriti dalam kewangan perlu diambil perhatian oleh setiap individu bagi memerangi endemik rasuah dalam kalangan masyarakat.\nYang menariknya, cabaran integriti dalam kewangan ini juga melangkaui status sosioekonomi individu sama ada miskin atau kaya, berpendidikan rendah atau tinggi yang menyaksikan setiap individu pasti akan berdepan dengan isu yang menguji integriti dalam menguruskan hal-hal kewangan. Godaan wang dan kekayaan harta benda sememangnya sukar ditepis, menjadikan garis pemisah antara benar dengan salah itu menjadi kabur, serta menidakkan perbezaan antara yang hak dan batil. Dari lensa mikro, integriti merupakan elemen yang sangat kritikal dalam membentuk nilai peribadi. Integriti peribadi inilah secara kolektifnya dapat mendukung integriti sesebuah sistem pada tahap yang lebih makro. Tanpa integriti, sesebuah sistem itu tidak dapat berfungsi sebagaimana yang sepatutnya.\nPersoalannya, bagaimanakah nilai integriti ini dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat agar menjadi satu budaya yang seterusnya menjadi identiti negara? Setakat ini, jelas Malaysia perlu memperbaik imej negara, apatah lagi dengan kedudukan terkini di tangga ke-57 pada tahun 2020 berbanding dengan tangga ke-51 pada tahun sebelumnya dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).\n\u00a0Secara asasnya, nilai integriti harus dipupuk dari dalam institusi kekeluargaan itu sendiri. Pembangunan peribadi dalam persekitaran kekeluargaan dilihat sebagai jalan yang lebih efektif berbanding dengan pendidikan formal. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam lingkungan keluarga, penyampaian adalah lebih dekat dan mesra, sekali gus memberikan impak yang lebih mendalam terhadap individu. Walau bagaimanapun, penerapan nilai integriti secara formal di institusi pendidikan akan menjadikannya lebih menyeluruh. Bahkan, pelbagai kajian kes boleh dijadikan rujukan dan diterapkan dalam rangka perancangan pendidikan.\nIntegriti merupakan elemen yang kritikal dalam urusan berkaitan dengan kewangan. Jika ditanya berkaitan dengan harga sebuah integriti, jawapannya tidak ternilai harganya waima dijanjikan jutaan ringgit. Integriti harus tetap dipegang utuh kerana itulah tuntutan moral dan agama yang tidak seharusnya dikompromikan.\nDr. Nurul Afidah Mohamad Yusof, Penolong Profesor di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Kewangan, Universiti Tunku Abdul Rahman." "LHDNM:\u00a0Larangan Penggunaan Logo atau Rujukan Tanpa Kebenaran\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) pada hari ini dalam satu kenyataan menegaskan bahawa orang ramai tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan logo atau rujukan LHDNM di media sosial, risalah, atau mana-mana bahan bercetak dan penerbitan tanpa kebenaran.\nLHDNM memandang serius terhadap penyalahgunaan logo atau rujukan tersebut di mana-mana platform atau sebarang kegunaan yang boleh mengelirukan orang ramai.\u201c\n\u201cKesalahan ini boleh didakwa sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Bahagian 1, Jadual 1, Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) 1963 [Akta 414] atas kesalahan penyalahgunaan logo atau rujukan kepada pihak tertentu tanpa kebenaran.\nOleh hal yang demikian, sebagai sebuah agensi Badan Berkanun Persekutuan, LHDNM juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa terhadap pihak yang terlibat dengan penyalahgunaan tersebut." "Sektor Pembuatan Rekod Pertumbuhan 6.8 Peratus pada Ogos 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Nilai jualan sektor pembuatan negara pada Ogos 2021 merekodkan pertumbuhan sebanyak 6.8 peratus berbanding dengan bulan yang sama\u00a0pada\u00a0tahun lalu,\u00a0iaitu RM126.5 bilion.\nMenurut laporan Perangkaan Pembuatan Bulanan Malaysia, Ogos 2021, turut merekodkan peningkatan ialah dari jualan bulan ke bulan sektor tersebut pada bulan itu yang meningkat 5.5 peratus berbanding dengan bulan sebelumnya. Peningkatan ini dikatakan demikian dipengaruhi oleh pembukaan meluas sektor ekonomi seiring dengan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).\nDato\u2019 Sri Dr. Mohd.\u00a0Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia berkata, pertumbuhan nilai jualan pada Ogos itu dipacu oleh subsektor Produk Petroleum, Kimia, Getah dan Plastik yang meningkat 31.4 peratus,\u00a0terutamanya dalam industri pembuatan kok dan produk petroleum bertapis.\n\u201cPengembangan ini turut didorong oleh subsektor produk makanan, minuman dan tembakau (7.0 peratus) yang disokong oleh industri pembuatan produk makanan, serta subsektor produk elektrik dan elektronik (6.9 peratus), terutamanya dalam industri pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal.\n\u201cNilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang menyumbang sebanyak 75.3 peratus\u00a0dari jumlah nilai jualan, merekodkan kenaikan 14.3 peratus (RM95.2 bilion),\u00a0manakala industri berorientasikan domestik mencatatkan kejatuhan sebanyak 10.8 peratus pada Ogos 2021 berbanding dengan Ogos 2020.\n\u201cPertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport seiring dengan pertumbuhan dua digit yang dicatatkan bagi eksport perdagangan luar negeri serta faktor harga yang kekal memberangsangkan,\u201d katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.\nBagi perbandingan dari bulan ke bulan, Dato\u2019 Sri Dr. Mohd. Uzir menjelaskan bahawa industri berorientasikan eksport dan domestik masing-masing merekodkan pertumbuhan positif 3.5 peratus dan 12.2 peratus.\nPada masa yang sama, jumlah pekerja sektor pembuatan pada Ogos 2021 adalah sebanyak 2 213 715 orang, peningkatan 1.0 peratus berbanding dengan 2 190 787 orang pada Ogos tahun lalu. Peningkatan itu disumbangkan oleh sektor produk elektrik dan elektronik (4.3 peratus) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (1.8 peratus).\nLaporan tersebut juga menyatakan jumlah gaji dan upah yang dibayar ialah berjumlah RM7 230.1 juta, meningkat 1.7 peratus atau RM117.5 juta pada Ogos 2021 berbanding dengan bulan yang sama tahun sebelumnya.\nDi samping itu, nilai jualan per pekerja meningkat 5.7 peratus kepada RM57 160 berbanding dengan bulan yang sama tahun 2020. Sementara itu, purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3266 pada Ogos 2021.\nBagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, nilai jualan sektor pembuatan bertambah 15.5 peratus kepada RM992.4 bilion berbanding dengan tempoh yang sama tahun 2020.\n\u201cBilangan pekerja dan gaji dan upah masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.0 peratus dan 2.3 peratus,\u00a0iaitu berjumlah 2.21 juta orang dan RM59.2 bilion. Nilai jualan per pekerja bagi lapan bulan pertama tahun 2021 turut bertambah 14.3 peratus, iaitu sebanyak RM448 314,\u201d menurut laporan tersebut." "Jualan Perdagangan Borong, Runcit Merosot -10.2 Peratus\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Perdagangan Borong dan Runcit Malaysia merekodkan jualan RM100 bilion, merosot -10.2 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun yang lalu.\nKemerosotan tersebut merupakan pertumbuhan negatif atau dua digit ketiga berturut-turut selepas penurunan -14.7 peratus pada Julai dan -10.3 peratus pada Jun yang lalu.\nWalau bagaimanapun, laporan Prestasi Perdagangan Borong dan Runcit, Ogos 2021 memaklumkan bahawa nilai jualan dari bulan ke bulan sektor tersebut merekodkan pertumbuhan sebanyak 7.9 peratus.\nDato\u2019 Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia menjelaskan bahawa jualan perdagangan borong turun -0.1 peratus untuk mencapai RM51.9 bilion, manakala subsektor perdagangan runcit menguncup -7.5 peratus disebabkan oleh jualan runcit di kedai pengkhususan yang turut merosot -14.8 peratus atau RM1.4 bilion kepada RM8.1 bilion.\n\u201cJualan runcit di kedai bukan pengkhususan merosot -8.1 peratus kepada RM15.4 bilion. Hal ini diikuti oleh jualan runcit barangan isi rumah -7.5 peratus, jualan runcit bahan api kenderaan\u00a0(-6.2 peratus), jualan runcit peralatan informasi dan\u00a0komunikasi (-0.9 peratus), jualan runcit makanan, minuman dan tembakau (-1.3 peratus) dan jualan runcit barangan kesenian serta rekreasi -1.4 peratus.\n\u201cWalau bagaimanapun, jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar serta jualan runcit di gerai dan pasar masing-masing mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 20.8 peratus dan 5.9 peratus.\n\u201cSecara perbandingan bulanan, perdagangan runcit naik 2.9 peratus (Ogos) dengan semua kumpulan dalam subsektor ini mencatatkan pertumbuhan positif,\u201d katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.\nTambahan pula, hal ini juga menunjukkan peningkatannya pada nilai jualan perdagangan borong dari bulan ke bulan pada Ogos lalu yang merekodkan kenaikan 7.9 peratus, didorong oleh kebenaran semula 11 sektor ekonomi dan pengedaran di negeri Fasa Satu dan Fasa Dua di bawah Pelan Pemulihan Nasional (PPN).\nPada masa yang sama, Dato\u2019 Sri Dr. Mohd Uzir\u00a0memaklumkan bahawa pertumbuhan -57.6 peratus bagi subsektor kenderaan bermotor pada Ogos lalu adalah disebabkan oleh jualan kenderaan bermotor yang merosot -60.9 peratus, iaitu sebanyak RM4.8 bilion kepada RM3.1 bilion.\n\u201cHal ini turut diikuti dengan jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor yang merosot kepada -47.2 peratus, iaitu mencatatkan RM1.7 bilion.\n\u201cPenyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor juga menurun -48.6 peratus kepada RM0.9 bilion diikuti oleh jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal dengan pertumbuhan -79.0 peratus untuk mencapai RM0.8 bilion,\u201d ujar\u00a0beliau.\nNamun\u00a0begitu, perbandingan dari bulan ke bulan bagi jualan subsektor kenderaan bermotor meningkat 188.1 peratus dengan dipacu oleh jualan kenderaan bermotor yang merekodkan kenaikkan 135.5 peratus selepas kebenaran operasi bilik pameran dan pusat jualan kereta di negeri utama.\nJelas beliau lagi, indeks jualan runcit melalui internet pada Ogos merekodkan pertumbuhan dari tahun ke tahun yang lebih tinggi pada Julai lalu (9.4 peratus) apabila terus mencatatkan peningkatan sebanyak 13.8 peratus.\nBagi indeks volum perdagangan borong dan runcit pula, hal ini menunjukkan pertumbuhan -12.2 peratus dari tahun ke tahun dengan penguncupan tersebut adalah disebabkan oleh volum kenderaan bermotor yang menjunam -59.0 peratus, diikuti perdagangan runcit (-8.1 peratus) dan perdagangan borong (-3.3 peratus)." "Menangani Masalah Pengangguran di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPengangguran merupakan suatu masalah ekonomi yang perlu ditangani oleh setiap\u00a0\u00a0negara di dunia. Meskipun Malaysia\u00a0sebuah negara yang sedang membangun, namun\u00a0tidak lari daripada menghadapi masalah pengangguran. Hal ini berkaitan rapat dengan \u00a0kemiskinan yang kian menular bukan sahaja di kawasan luar bandar, malah\u00a0berlaku di kawasan bandar.\nKetika berucap dalam sidang Dewan Rakyat pada penghujung bulan September 2021, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia mengatakan bahawa sebanyak 580 000 isi rumah daripada golongan berpendapatan sederhana (M40) sudah tergelincir ke dalam kategori B40, iaitu sebanyak 40 peratus kerana kemerosotan ekonomi yang disebabkan oleh penularan pandemik COVID-19.\nMenurut beliau lagi, sebanyak 20\u00a0peratus\u00a0daripada 40 peratus kumpulan M40\u00a0tersebut, yang sebelum ini menerima pendapatan bulanan antara RM4850 hingga RM10\u00a0959. Namun begitu, situasi berubah apabila pandemik berlaku sehinggakan\u00a0kumpulan B40 mengalami kerugian pendapatan yang mendorong kepada kadar kemiskinan mutlak\u00a0di Malaysia meningkat kepada 8.4\u00a0peratus\u00a0pada tahun 2020 berbanding dengan 5.6\u00a0peratus\u00a0pada tahun 2019.\nSeterusnya, dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia didapati bahawa kebanyakan siswazah kini terpaksa merebut peluang pekerjaan yang disediakan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan diploma kerana kekurangan peluang pekerjaan. Menurut laporan itu, kerajaan perlu bertindak segera menangani isu pekerjaan yang berlaku ketika ini, lebih-lebih lagi apabila mereka merebut untuk mendapatkan pekerjaan melebihi daripada kelayakan yang sepatutnya. Sebagai contoh,\u00a0pekerjaan yang dikhaskan untuk pelajar lepasan SPM atau diploma\u00a0terpaksa berebut dengan graduan lain untuk mendapatkan pekerjaan.\nDalam konteks ini, keadaan sebeginilah yang menyebabkan golongan lepasan SPM\u00a0dan diploma terpaksa bersaing dengan\u00a0graduan ijazah untuk mendapatkan pekerjaan. Impak kerajaan bawah kelayakan ini adalah besar memandangkan hal ini menyentuh kebolehpasaran golongan B40 yang berpendidikan sederhana dan rendah untuk mendapatkan pekerjaan.\n\nBerdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, pada Julai 2021, menunjukkan seramai 778 200 orang penduduk Malaysia telah kehilangan pekerjaan atau masih menganggur. Hal ini dikatakan demikian bilangan pengangguran telah meningkat 4.8 peratus dari bulan Jun pada tahun ini. Kadar pengangguran pada Julai pula adalah yang tertinggi untuk tahun ini walaupun kerajaan memperuntukkan RM530 bilion dalam lapan Pakej Rangsangan Ekonomi sebelum ini.\nSeterusnya, pada tahun 2020, direkodkan jumlah siswazah yang bersedia untuk\u00a0masuk ke pasaran kerja ialah sebanyak 260\u00a0000 orang. Walau bagaimanapun, jumlah pekerjaan mengikut kelayakan yang tersedia untuk siswazah dalam negara pada tahun\u00a02020 hanya 73\u00a0000 pekerjaan merosot kepada 31\u00a0000 dari tahun sebelumnya. Pada tahun\u00a02020, sebanyak 1.89 juta lepasan siswazah bekerja dalam sektor separa mahir dan tanpa kemahiran.\nHal ini merangkumi 37.4 peratus jumlah pekerja yang mempunyai kelayakan lepasan ijazah dan hal ini juga bermakna pada tahun 2020, sebanyak 1.89 juta pekerjaan yang sepatutnya dikhaskan untuk lepasan SPM dan diploma telah diisi oleh pekerja siswazah yang bekerja di bawah kelayakan. Situasi ini jelas menunjukkan bahawa terdapat jurang ketidakpadanan yang besar dalam pasaran kerja di negara ini.\nMenurut Jabatan Perangkaan\u00a0Malaysia, guna tenaga tak penuh (underemployment) ini membawa kepada jurang kemiskinan yang lebih besar kepada golongan berpendapatan rendah B40.\nPada pandangan penulis, cara yang terbaik untuk merangsangkan ekonomi Malaysia pasca COVID-19 dengan membuka lebih banyak sektor industri seperti pelancongan di Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Pangkor dan Pulau Redang. Menurut Kementerian Pelancongan Malaysia, sejak Pulau Langkawi dibuka kepada pelancong tempatan pada pertengahan September 2021, pendapatan bersih daripada sektor ini ialah RM15 juta. Hal ini adalah susulan daripada rakyat Kedah yang berjaya ditempatkan pada Fasa 3 apabila lebih daripada 80 peratus penduduk telah divaksin.\nDengan mematuhi prosedur operasi standard\u00a0(SOP)\u00a0ataupun penjarakan fizikal yang ketat,\u00a0maka sudah tentu lebih ramai rakyat Malaysia akan dapat merentas ke negeri lain untuk\u00a0melancong atau melawat sanak-saudara mereka.\nLangkah seterusnya ialah menggalakkan lebih ramai pelabur dari Asia Timur, seperti Rusia, Turki, Azerbaijan ataupun Tukmenistan untuk melabur di sini. Dalam pada itu, kerajaan juga boleh melibatkan universiti tempatan dan swasta dengan sektor perindustrian, seperti sains dan teknologi, penterjemahan buku asing kepada pelbagai bahasa yang boleh melahirkan ramai penterjemah atau penyunting graduan universiti, seperti dari Institut Terjemahan Negara. Institut itu juga perlu memainkan peranan dalam usaha menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan lulusan seperti penterjemahan bahasa, interpretasi dan penyuntingan.\nKonglomerat seperti Sunway Industries, Berjaya Corporation dan Proton juga perlu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan dalam bidang teknologi maklumat, kejuruteraan dan pembinaan, walaupun gaji agak rendah daripada sebelumnya.\nBerdasarkan kajian, terdapat kira-kira 30\u00a0000 pekerja awam yang masih enggan divaksin bagi menangani pandemik COVID-19. Maka demikian, penulis mencadangkan agar mereka digantikan dengan graduan yang sedang menganggur yang layak untuk\u00a0bekerja sementara waktu. Selain itu, bagi menggalakkan graduan lebih berdikari, mereka disarankan untuk menceburi dalam bidang lain seperti pengusahaan ladang, menanam buah-buahan ataupun sayur-sayuran,\u00a0walaupun kelayakan bidang mereka\u00a0berbeza. Mereka perlulah bersedia menghadapi\u00a0cabaran baharu dan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan semata-mata.\nPengangguran dalam kalangan belia memberikan cabaran untuk Malaysia. Masalah struktur yang diperoleh daripada kekurangan kualiti pendidikan, ketidaksesuaian kemahiran dan pekerjaan berkualiti rendah menekan pasaran buruh \u00a0sejak tahun kebelakangan ini. Penyertaan belia dalam pasaran buruh berumur antara 15 hingga 24 tahun, bertambah dengan tetap sejak dekad yang lepas.\nSementara menunjukkan trend yang positif pada keseluruhannya, beberapa perkembangan tertentu patut diberikan perhatian. Remaja yang berusia antara 15 hingga 19 tahun, besar kemungkinan memilih pekerjaan lebih daripada pelajaran lepasan sekolah menengah di Sabah. Walau bagaimanapun, pengangguran sedang meningkat dalam kalangan belia 20 hingga 24 tahun, khususnya di kawasan perbandaran dan masih kekal tinggi dalam kalangan belia berusia 15 hingga 19 tahun.\nPengangguran lelaki begitu jelas di Sabah,\u00a0sementara pengangguran dalam kalangan perempuan adalah tinggi di kawasan bandar dan di luar bandar. Yang lebih mengejutkan, pengangguran tersebut adalah dalam kalangan\u00a0belia kaum India.\nAkibat COVID-19, rakyat Malaysia yang masih muda sudah terdedah dengan masalah kehilangan pekerjaan dalam menghadapi pertumbuhan kerja yang mereka tidak mudah dilepaskan. Hal ini ditambah pula\u00a0dengan fokus pada pengekalan pekerja yang membawa kepada kekangan mendapat\u00a0pekerja baharu,\u00a0serta pertambahan perkongsian mereka yang bekerja sendiri\u00a0dengan sumber\u00a0yang kurang bagi meresap kemerosotan.\nDalam artikel dari Emir Research bertajuk, Daripada Insentif Pengawal Seliaan\u00a0kepada Insentif Fizikal\u00a0(berkaitan dengan pendapatan kerajaan,\u00a0seperti cukai)\u00a0pada 3\u00a0Ogos 2021, kerajaan digesa untuk menambah suntikan fizikal terus daripada RM83 bilion\u00a0kepada RM150 bilion. Penambahan ini\u00a0diperlukan bagi menggalakkan ekonomi dan menolak ke hadapan perangkaan pertumbuhan. Hal ini sekurang-kurangnya dapat menangani cabaran\u00a0pengangguran yang mungkin berbentuk struktur ataupun terbina dalam yakni yang melibatkan graduan dan pengangguran belia.\nUndang-undang Okun oleh pakar ekonomi Arthur Okun mengatakan bahawa bagi setiap satu peratus kejatuhan dalam pekerjaan, terdapat juga kejatuhan sepadan sebanyak dua peratus dalam pertumbuhan hasil domestik kasar. Pada asasnya, hal ini berkaitan rapat dengan teori ekonomi standard. Itulah perbezaan antara pengeluaran sebenar dengan pengeluaran berpotensi. Pekerjaan ialah aspek integrasi ekonomi makro dan asas ekonomi. Perkara ini penting bagi menentukan pekerjaan sepenuhnya dalam negara tidak statik, namun mampu bergerak ke hadapan dalam mencapai potensi sebuah negara yang maju dan negara yang berpendapatan tinggi seperti yang digariskan dalam perancangan terkini dan yang lepas, rangka tindakan dan rangka kerja strategik.\nKini \u00a0jangkaan Hasil Domestik Kasar Negara Malaysia tahun 2021 terpaksa diturunkan daripada 7.5\u00a0peratus\u00a0kepada lima\u00a0peratus. Dalam hal ini, negara banyak bergantung kepada eksport\u00a0sektor\u00a0pengeluaran bagi memacu pertumbuhan yang mengatasi RM1 trilion\u00a0bagi suku\u00a0pertama tahun 2021.\nPendapatan negara banyak diperoleh daripada hasil petroleum, hasilan petrokimia, hasilan elektrik terutamanya litaran integrasi elektronik yang digunakan \u00a0dalam telefon bimbit, automatif dan hasilan getah terutamanya sarung tangan pembedahan yang berasaskan nitril." "Bahasa Indah Cerminan Akal Budi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2212\u00a0Karya yang baik dengan bahasa yang santun dapat dipancarkan melalui akal budi seni. Akal budi seni merupakan pancaran yang lahir dari hati budi seorang insan yang disampaikan melalui bahasa. Orang Melayu mempunyai banyak khazanah seni bahasa yang berharga seperti pantun, peribahasa, gurindam dan sebagainya.\nMenurut Zefri Ariff dari negara Brunei Darussalam, bahasa yang baik dan berkesan perlu untuk seseorang itu berkomunikasi dengan baik. Bahasa yang indah pula dapat memperkatakan suatu ekspresi yang ada kaitannya dengan seni. Seni berbahasa dapat memberikan gambaran atau ekspresi jati diri seseorang insan dalam konteks komunikasi. Tanpa bahasa, seseorang itu tidak dapat berada di luar lingkungannya kerana bahasa memainkan peranan yang penting sebagai alat komunikasi. Begitulah intimnya perkaitan antara jati diri dengan seni berbahasa yang memperlihatkan setiap bait-bait kata yang diucapkan itu dapat memberikan cerminan terhadap akal budi seni seseorang.\u00a0\nLima perspektif yang dapat dilihat dalam konteks jati diri seseorang melalui bahasa ialah kesedaran berilmu, kesedaran berbahasa, kesedaran berbangsa, kesedaran bernegara dan kesedaran beragama.\nManakala SPN. Marhalim Zaini, iaitu S.SN. M.A dari Indonesia pula berkata, fenomena seni pada hari ini berkait rapat dengan teknologi digital. Apabila datangnya pandemik COVID-19, para pengkarya yang kreatif pantas mengambil inisiatif untuk berkarya dan menyampaikannya kepada masyarakat dengan menggunakan teknologi digital seiring dengan keadaan semasa dunia yang dilanda pandemik COVID-19.\nPada hari ini, banyak karya seni kita terhasil melalui medium teknologi digital. Namun begitu, dapat dilihat bahawa karya yang dihasilkan ini tidak melupakan sumber tradisi alam Melayu yang melambangkan jati diri orang Melayu termasuklah penggunaan bahasa yang indah. Oleh itu, kita perlu menonjolkan dan memperkenalkan semula tradisi seni Melayu kepada generasi muda kerana banyak dalam kalangan mereka tidak lagi mengenali tradisi seni budaya Melayu lama termasuklah puisi, pantun, drama dan sebagainya.\nKini, ruang media sosial menjadi medium yang sangat berkesan untuk memberikan artikulasi yang lebih jelas kepada penonton tentang mitos, tradisi lama, hikayat lama dan sebagainya khususnya kepada generasi baharu.\nCG Karmain Abbas dari Singapura pula berpendapat, seseorang itu perlu menggunakan cara yang kreatif untuk berbahasa supaya setiap bait-bait kata yang diucapkan itu santun dan sopan. Pendekatan berbahasa menggunakan cara yang betul dan santun dapat menyampaikan maklumat secara jelas dan berkesan kepada penerima ketika berkomunikasi.\nFazleena Hishamuddin dari Malaysia pula menambah, seseorang yang berkomunikasi itu dapat dipancarkan melalui dua cara, iaitu secara bersemuka dan maya atau teknologi digital seperti penggunaan WhatsApp.\nBahasa berinovasi dan terakam mengikut generasi. Bahasa tumbuh mengikut peredaran masa. Bagi generasi muda pada hari ini, mereka lebih suka berkomunikasi dengan menggunakan singkatan perkataan dan mengelakkan diri daripada menulis perkataan secara penuh dengan tatabahasa yang betul dan tepat. Hal ini amat membimbangkan kerana akan merosakkan keindahan bahasa Melayu.\nDemikianlah antara penjelasan menarik daripada panel jemputan dalam Webinar 1: \u201cBahasa Terindah dalam Karya Seni (Tradisional dan Kontemporari)\u201d, yang bersiaran secara langsung pada pukul 10.00 pagi tadi. Program ini dirasmikan oleh Rektor ASWARA, Prof. Ts. Dr. Ruslan Abdul Rahim. Yang turut hadir ialah Encik Azrie Izham Hamzah dari Malaysia selaku moderator.\nPusat Pengajian Asasi Seni Kreatif, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) menganjurkan siri webinar pada 24 dan 25 November 2021 secara langsung dalam talian menerusi FB LIVE Aswara yang menampilkan perkongsian ilmu daripada tokoh akademik dari dalam dan luar negara serta penggiat industri kreatif tanah air. Program ini ialah lanjutan daripada siri \u201cAkal Budi Seni: Liuk Kata\u201d bersempena dengan Wave Festival 21." "PLCT Memantapkan Prestasi Sektor Korporat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan mengumumkan penubuhan \u00a0Program Transformasi Syarikat Senaraian Awam (PLCT) bagi memastikan prestasi tinggi sektor korporat negara.\nTengku Datuk Seri Zafrul\u00a0berkata, \u201cpenubuhan PLCT itu juga merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan untuk melengkapkan inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (Perkukuh) yang dilaksanakan ke atas Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC)\u201d.\nInisiatif yang bakal diterajui oleh Bursa Malaysia Berhad\u00a0itu akan memberikan tumpuan kepada peningkatan lima tonggak dalam Syarikat Senaraian Awam (PLC),\u00a0antaranya operasi dipacu prestasi, pertumbuhan sebagai organisasi lestari, bertanggungjawab dan beretika,\u00a0serta pengukuhan tadbir urus korporat.\nTurut menjadi tonggak utama program tersebut ialah kebolehan digital dan sokongan terhadap pembinaan negara bagi memajukan ekonomi,\u00a0serta komuniti di Malaysia.\nPLCT dilaksanakan dari tahun 2021 hingga 2025. Perkara ini akan menyaksikan kemajuan PLC negara dalam pelbagai aspek, termasuklah membina kedudukan kewangan lebih kukuh dan meningkatkan komposisi dalam Lembaga Pengarah, seterusnya meletakkan kedudukan yang lebih baik untuk menyumbang kepada agenda nasional.\nBeliau berkata demikian ketika berucap pada Program Invest Malaysia 2021 yang diadakan secara maya pada Khamis.\nPelaksanaan PLCT itu turut melibatkan penerbitan lima buku panduan digital dengan setiap satu daripadanya mewakili setiap tonggak yang digariskan dengan buku pertamanya akan dikeluarkan pada akhir tahun ini.\nBagi meningkatkan ketelusan dan keberkeksanana program tersebut, pemantauan terhadap usaha dan kemajuan PLC bakal dikongsikan melalui papan pemuka digital (dashboard).\n\u201cSepanjang pelaksanaan program ini, sokongan oleh peneraju industri dan pemimpin korporat sangat penting. Oleh itu, saya menggesa semua PLC negara untuk menyokong program ini bagi\u00a0meningkatkan sektor korporat, pasaran modal dan ekonomi negara.\n\u201cUsaha digerakkan melalui Program Perkukuh, Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) hingga PLCT secara keseluruhannya akan memastikan asas ekonomi menjadi lebih kuat, di samping meletakkan negara pada\u00a0landasan kemakmuran, inklusif dan lestari,\u201d ujarnya." "Pengeluaran Getah Asli Malaysia Menurun 11.7 Peratus\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013\u00a0Berdasarkan penerbitan Perangkaan Getah Bulanan di Malaysia bagi bulan Ogos 2021, Jabatan Perangkaan Malaysia pada hari ini mengumumkan pengeluaran getah asli menurun sebanyak 11.7 peratus pada Ogos 2021, iaitu 42 942 tan metrik berbanding dengan bulan Julai pada tahun yang sama dengan jumlah 48 610 tan metrik.\nPenerbitan perangkaan getah bulan ini memaparkan statistik berkaitan dengan pengeluaran, import, eksport, penggunaan domestik, stok, harga, bilangan pekerja, gaji dan upah serta produktiviti bagi estet getah.\nMenurut Dato\u2019 Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia, pengeluaran tahunan turut menunjukkan penurunan sebanyak 3.6 peratus berbanding dengan 44 543 tan metrik bulan yang sama pada tahun sebelumnya.\nTambah beliau, sektor pekebun kecil merupakan penyumbang besar kepada pengeluaran getah asli Malaysia pada Ogos 2021, iaitu 90.9 peratus berbanding dengan sektor estet hanya sebanyak 9.1 peratus.\nSementara itu, dilaporkan bahawa jumlah stok getah asli meningkat 2.3 peratus pada Ogos 2021 kepada 287 380 tan metrik berbanding dengan 280 844 tan metrik pada Julai 2021. Dalam hal ini, kilang pemproses getah telah menyumbang stok akhir sebanyak 91.5 peratus diikuti dengan kilang pengguna getah (8.4 peratus) dan estet getah (0.1 peratus).\nChina terus mendominasi sebagai pengimport tertinggi getah asli, iaitu 43.7 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Ogos 2021 diikuti Amerika Syarikat (9.0 peratus), Perancis (8.4 peratus), Turki (3.1 peratus) dan Brazil (2.4 peratus). Namun begitu, eksport getah asli Malaysia adalah sebanyak 59 172 tan metrik, iaitu meningkat 21.6 peratus berbanding dengan Julai 2021 (48 645 tan metrik).\nPrestasi eksport produk getah negara disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli, seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom. Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilainya sebanyak RM3.8 bilion pada Ogos 2021, menurun sebanyak 1.4 peratus berbanding dengan Julai 2021.\nMengulas lebih lanjut, Dato\u2019 Sri Dr. Mohd. Uzir menjelaskan bahawa prestasi pertumbuhan pengeluaran getah asli Malaysia dalam tempoh lapan bulan pertama tahun 2021 mencatatkan penurunan 4.0 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2020 (313 180 tan metrik bagi Januari\u2013Ogos 2021, dan 326 194 tan metrik bagi Januari\u2013Ogos 2020).\n\u201cMeskipun begitu, jumlah eksport getah asli mencatatkan peningkatan ketara pada tahun 2021, iaitu 22.7 peratus berbanding dengan pada tempoh sama pada tahun sebelumnya. Peningkatan ketara ini sejajar dengan prospek ekonomi yang lebih baik berikutan daripada pemulihan dalam perdagangan global dan rangkaian bekalan,\u201d ujar beliau lagi." "Pemerkasaan TMK Catat RM320 Bilion pada Ekonomi Digital Tahun 2020\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTeknologi Maklumat dan komunikasi (TMK) mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 10.4 peratus bersamaan RM320 bilion\u00a0pada tahun 2020. Situasi penularan COVID-19\u00a0telah menjejaskan aktiviti ekonomi dan sosial berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun situasi ini memberikan\u00a0manfaat kepada industri TMK melalui pertumbuhan ekonomi digital.\nKetua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd.\u00a0Uzir Mahidin berkata, sumbangan tersebut merangkumi Nilai Ditambah Kasar Industri Teknologi Maklumat dan Komunikasi (NDKTMK), 14.2 peratus dan e-dagang bagi industri lain, 8.4 peratus.\nPertumbuhan positif ini selari dengan fokus utama kerajaan dalam pemerkasaan ekonomi digital yang akan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi memulihkan pertumbuhan negara akibat kesan pandemik COVID-19.\nMengulas lebih lanjut, NDKTMK\u00a0e-dagang menunjukkan peningkatan sebanyak RM163.3 bilion pada tahun 2020 berbanding dengan RM129.2 bilion tahun lalu.\n\u201cPelaksanaan pelbagai fasa kawalan pergerakan bagi membendung penularan COVID-19\u00a0dan penutupan sektor ekonomi bukan\u00a0utama (essential)\u00a0juga mendorong pengguna untuk meningkatkan pembelian secara dalam talian, seterusnya mempercepatkan pertumbuhan pasaran e-dagang di Malaysia,\u201d kata\u00a0Datuk Seri Dr. Mohd.\u00a0Uzir\u00a0dalam kenyataan hari ini.\nTambah beliau lagi, sebahagian besar guna tenaga dalam industri TMK diterajui oleh industri pembuatan TMK sebanyak 35.3 peratus diikuti perkhidmatan TMK 29.5 peratus dan perdagangan TMK 21.7 peratus.\nIndustri TMK menunjukkan perkembangan positif walaupun negara berhadapan pandemik COVID-19. Hal ini dapat dilihat dari pertumbuhan ekonomi digital dengan penggunaan teknologi dari perusahaan yang mula beralih dari cara tradisional ke arah digital dan platform e-dagang.\nBeliau sempat menyeru penduduk Malaysia supaya memberikan\u00a0kerjasama dalam menjayakan Banci Malaysia 2020 bagi memastikan tiada yang ketinggalan kerana \u201cData Anda Masa Depan Kita\u201c." "Make It Bigger Resources: Terokai Perniagaan Pembekalan Kandungan dan Kerja Kreatif\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMungkin tidak setanding Noor Neelofa, selebriti terkenal di Malaysia dan juga selebriti media sosial, Khairul Aming yang mencipta populariti berikutan sering kelihatan dalam dunia maya. Berdasarkan laporan, sambal yang dipasarkan di Instagram oleh Khairul Aming terjual hampir 273 000 unit dengan harga RM13.90 sebotol. Mengikut kiraan kasar, keuntungan jualan Khairul menerusi laman web Shopee diperoleh sebanyak RM3.8 juta, iaitu hampir RM4 juta dengan hanya menjual sambal.\nNeelofa mungkin lebih bertuah disebabkan telah mencipta jenama diri sebagai selebriti menerusi program realiti Dewi Remaja. Khairul bukanlah selebriti sebaliknya muncul mencipta nama menerusi perkongsian video masakan hampir tiga tahun sebelum berjaya meraih keyakinan orang ramai. Kedua-dua figura ini bukanlah dua kes eksklusif, sebaliknya terdapat ratusan lagi pihak yang mencipta kekayaan dengan hanya menerbitkan kandungan unik, fokus dan informatif.\nIroninya, masyarakat hanya memberikan fokus kepada nilai ringgit yang diperoleh, namun hakikatnya setiap tokoh itu mempunyai perjalanan pahit dan manis untuk berjaya hingga ke tahap tersebut. Dalam konteks ini, mencipta kandungan demi mendapatkan kandungan yang baik, berkualiti dan memberikan impak kepada warga maya perlu mempunyai aturan yang signifikan. Menurut Mohd. Faizal Zakaria, Ketua Pegawai Eksekutif Make It Bigger Resources, pemasaran melalui penerbitan kandungan merupakan konsep terkini dalam pemasaran yang semakin dominan tanpa mengira negara.\n\u201cPada zaman dahulu, masyarakat boleh bergantung kepada media massa memandangkan medium tersebut mempunyai kekuatan untuk menyampaikan maklumat kepada pembaca dalam tempoh yang singkat. Kemunculan platform media sosial dikatakan mengambil alih fungsi media massa sedia ada.\nFaizal berkata, kini, secara tiba-tiba banyak pihak menjadi sensasi di media sosial dengan identiti tersendiri hasil daripada menerbitkan kandungan, seterusnya menggunakan platform tersebut sebagai kerjaya tetap. Pada dasarnya, penghasilan sesuatu kandungan lazimnya diguna pakai dalam bentuk tulisan blog, video, infografik, audio siar (podcast) ataupun media sosial.\nKebanyakannya beranggapan bahawa menerbitkan kandungan merupakan sesuatu perkara yang mudah. Namun begitu, bagi menerbitkan kandungan yang berkualiti dan strategik, pada hakikatnya memerlukan kemahiran dan kepakaran dalam bidang tertentu. Tambahan pula, kebanyakan organisasi hanya memfokuskan pada teras perniagaan. Menyentuh kesedaran tentang peri pentingnya kualiti kandungan dalam media sosial, Mohd. Faizal bertanggungjawab untuk memainkan peranan sebagai konsultan dan penyedia perkhidmatan menerbitkan sesuatu kandungan.\nKandungan bukan hanya terhad pada penulisan, sebaliknya melibatkan penggunaan peralatan seperti kamera, video, sistem bunyi dan pencahayaan, penyuntingan dan kemudiannya disiarkan di platform media tertentu. Melalui pemerhatian Mohd. Faizal, kebanyakan syarikat berhadapan dengan dilema untuk melantik konsultan atau menggaji pekerja berikutan beberapa faktor, termasuklah isu kos.\n\u201cPada hakikatnya, 80 peratus syarikat multinasional melantik konsultan luar untuk menyediakan perkhidmatan kandungan berikutan tidak mahu menanggung kos pekerja dan berhadapan dengan isu kecekapan. Idea kreatif sentiasa ada hadnya. Oleh itu, syarikat lazimnya tidak mahu menanggung kos untuk melantik banyak kru penerbitan kandungan,\u201d katanya.\nDalam menerbitkan kandungan yang berimpak tinggi, seseorang itu mahupun syarikat memerlukan kepakaran dalam penguasaan bahasa, manakala pengetahuan dalam menganalisis data, khususnya berkaitan dengan angka menjadi suatu hal yang sangat imperatif.\n\u201cSaya sering menasihatkan klien untuk memberikan tumpuan kepada teras perniagaan masing-masing. Sebagai contoh, jika mereka menghasilkan pastri, perniagaan itu perlulah fokus pada penghasilan dan pemasaran pastri. Kandungan kreatif pula perlu diberikan tanggungjawab kepada konsultan,\u201d kongsinya lagi.\nHal ini dikatakan demikian kerana penghasilan kandungan kreatif ini memakan banyak masa, sedangkan usahawan sebenarnya lebih bertanggungjawab menghasilkan lebih banyak peluang untuk perniagaan masing-masing.\nDalam berkongsi aspirasi, Mohd. Faizal menjelaskan negara maju kini menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan kandungan dengan ketepatan hampir 80 peratus tepat berdasarkan kecenderungan pengguna. Hal ini sedikit sebanyak menjadikan penerbitan kandungan menjadi lebih mudah dan bermakna kepada banyak penulis, untuk mencari dan mendalami ilmu dan kemahiran baharu. Setiap usahawan atau penggiat industri perlu mencari teknik kemahiran tinggi yang paling sukar ditandingi dalam sesuatu perkara.\nTeknologi kini menjadikan sesiapapun boleh menjadi jurufoto, juruvideo mahupun selebriti dalam sekelip mata. Menyentuh aspek strategi kandungan, perniagaan disyorkan untuk merancang kandungan berjenama dengan memasukkan elemen yang tertancap dalam minda separuh sedar kerana hal tersebut lebih berkekalan. Kandungan yang bagus mesti kelihatan dengan emosi dan bermain-main dengan perasaan. Cerita yang paling dikenang sudah tentu suatu bingkisan yang diakhiri dengan linangan air mata sedih, gembira atau kelucuan.\n\u201cOleh sebab itu, saya sering berpesan kepada penulis, tulislah dari hati kerana tulisan hati sentiasa mengetuk pintu hati yang lain. Tidak semua kandungan perlu bermain emosi kerana kandungan kreatif untuk agensi kerajaan harus disampaikan dalam satu nada tertentu untuk menyatakan sesuatu yang serius.\n\u201cBukan mudah memuaskan hati klien. Kadang-kadang menjadi buntu untuk mendapatkan idea yang segar. Ada ketikanya, kami mempunyai idea yang bagus, tetapi tidak dapat dilaksanakan berikutan beberapa halangan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Isu bajet dan kekangan masa juga memainkan peranan,\u201d jelas beliau.\nNuansa selera pengguna sentiasa berubah-ubah, maka penceritaan juga harus cepat beradaptasi dengan keperluan semasa. Menurut Mohd. Faizal, tidak ada satu formula khusus dalam penghasilan naskhah kandungan untuk media sosial, namun menerapkan pendekatan \u201ccuba dan baiki\u201d sehingga mendapat hasil terbaik. Hindari daripada meniru pendekatan orang lain. Fahami konsep dan amalkan konsep mencuba dan membuat penambahbaikan tersebut.\nSehubungan dengan itu, sesuatu penghasilan kandungan kreatif yang menggunakan media sosial perlulah mempunyai konsep tersendiri bersifat santai dan memadai diterbitkan dalam satu sela masa yang tetap.\n\u201cSaya pernah berhadapan dengan permintaan klien yang permintaannya ialah tiga kandungan disiarkan pada setiap hari di saluran media sosial. Bayangkan, setiap hari perlu melihat mesej atau cerita yang lebih kurang sama. Sudah tentu pembaca bukan sahaja berasa jelak, malah menunjukkan penyampaian kandungan itu tidak berkesan.\nOleh hal yang demikian, menulis artikel dalam laman blog dan berkongsi karya penulisan dalam media sosial merupakan satu daripada inisiatif yang berkesan. Artikel tersebut tidak akan terpadam melainkan pemilik akaun tersebut bertindak membuang kandungan itu.\nMemiliki kepercayaan merupakan langkah pertama untuk menjalin hubungan perniagaan. Sebagai usahawan, kita tidak boleh meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada pelanggan baharu. Bermula dengan memperoleh kontrak kecil sebelum beransur-ansur menjadi lebih besar sebenarnya merupakan titik permulaan yang baik untuk membina kepercayaan klien terhadap keupayaan perniagaan kita.\nBagi memastikan perkhidmatan terbaik, Faizal turut melabur dengan membeli peralatan terkini, termasuklah perisian yang berupaya meningkatkan produktiviti. Seseorang itu akan sentiasa terpesona dengan visual yang dilihat. Bagi menghasilkan visual yang bermutu, mahu tidak mahu bukan sahaja memerlukan idea yang hebat, bahkan perlu memiliki peralatan bersesuaian.\n\u201cKami sentiasa melakukan penambahbaikan dari segi inventori peralatan yang sesuai dengan kemampuan dan permintaan pelanggan. Kami juga sudah beralih kepada teknologi network device interface (NDI) untuk menyiarkan program secara langsung menerusi Internet.\n\u201cPelanggan terbesar kami datangnya dari agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Visual dan imej yang dihasilkan lazimnya untuk kegunaan korporat dan pasaran antarabangsa dan hal ini menjadi faktor utama mengapa Make It Bigger sentiasa mengemaskinikan peralatan dan perisian agar inventori sentiasa berada pada tahap terbaik,\u201d katanya.\nMelihat hala tuju syarikat dalam tempoh terdekat, pengasas Make It Bigger dalam proses memindahkan operasi ke premis yang lebih besar bagi menampung kapasiti pekerja. Susulan daripada itu, pengasas ini merancang untuk menambah kapasiti pekerja bagi meningkatkan produktiviti melalui pengambilan secara Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) anjuran Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). Syarikat ini turut berharap agar dapat mengoptimumkan kos tenaga kerja dan pada masa yang sama dapat memindahkan kemahiran dan ilmu kepada golongan muda.\nMelalui program SLDN tersebut, Mohd. Faizal berharap Make It Bigger akan terus digerakkan oleh tenaga dan kreativiti generasi terkini sesuai dengan motonya, \u201cPenyelesaian Masa Hadapan Bermula Hari Ini\u201d." "Pulau Legenda Sasar 100 Ribu Pelancong\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2013 \u201cHingga akhir bulan Oktober 2021, Langkawi menyasarkan kehadiran pelancong di pulau ini mencecah angka 100 ribu pengunjung.\u201d Keterujaan ini dikongsikan oleh Tuan Nasaruddin Abdul Mutalib, Ketua Pegawai Eksektif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dalam Majlis Makan Malam Bersama-sama Pengamal Media di Goldsands Hotel Langkawi malam tadi. Jamuan yang diadakan khusus untuk meraikan media itu merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN).\n\nPulau Langkawi menjadi perintis bagi projek Gelembung Pelancongan di negara ini bermula pada 16 September 2021. Kerajaan mengumumkan kebenaran mengunjungi Langkawi dengan prosedur dan peraturan yang ketat sebagai langkah membendung penularan COVID-19 kesan daripada kedatangan pelancong ke pulau lagenda itu. Namun demikian, hanya pengunjung yang sudah lengkap dua dos vaksin dibenarkan memasuki Langkawi.\nBercakap tentang kesan positif yang dicapai melalui rancangan Gelembung Pelancongan itu, Tuan Nasaruddin Abdul Mutalib menambah, \u201cDalam tempoh dua minggu pertama selepas dibuka kepada pelancong luar, Langkawi menyasarkan 30 ribu kedatangan pelancong, namun jumlah yang dicatatkan melebihi sasaran, iaitu sebanyak 38 784 pengunjung pada bulan September.\nKemudian, pada bulan Oktober pula, Langkawi dijangka akan menerima 60 ribu kemasukan pengunjung. Jumlah itu juga diyakini akan melebihi sasaran apabila pada pertengahan bulan Oktober sahaja, kehadiran pengunjung ke Langkawi mencecah angka 51 400 ribu pengunjung.\u201d\nMenurut beliau lagi, kemasukan pengunjung secara harian ke Langkawi juga menunjukkan peningkatan apabila mencatatkan jumlah 3700 pengunjung sehari. Begitu juga dengan jumlah penerbangan ke Langkawi yang beroperasi sebanyak 25 penerbangan sehari. Hal ini hampir memenuhi keupayaan maksimum Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.\n\n\u201cSelepas pembukaan Langkawi untuk dikunjungi oleh pelancong setelah lama \u2018sunyi\u2019 akibat pandemik COVID-19, bilangan feri dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah yang membawa pengunjung ke Langkawi juga semakin bertambah dari sehari ke sehari, iaitu melebihi 1000 orang pelancong sehari,\u201d kata Tuan Nasaruddin dalam nada gembira.\nSememangnya Gelembung Pelancongan di Langkawi berjaya dengan adanya kerjasama daripada semua pihak yang terlibat dalam usaha menggerakkan kempen \u201cselamat untuk melancong\u201d dalam suasana negara, termasuk Langkawi yang masih berhadapan dengan virus COVID-19." "LHDNM Lantik Ketua Pegawai Eksekutif Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mengumumkan pelantikan YBhg. Datuk Mohd Nizom Sairi, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDNM sebagai Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM yang baharu berkuat kuasa esok (19 Oktober 2021) bagi menggantikan YBhg. Dato\u2019 Sri Dr. Sabin Samitah. LHDNM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBhg. Dato\u2019 Sri Dr. Sabin Samitah atas jasa, sumbangan dan bakti sepanjang beliau berkhidmat di LHDNM.\nYBhg. Datuk Mohd Nizom Sairi, 58 tahun, yang memegang ijazah sarjana dari Lawrence Technological University, Amerika Syarikat mula berkhidmat di LHDNM pada 13 November 1985 mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang percukaian langsung, iaitu merangkumi operasi percukaian dan pungutan cukai, percukaian antarabangsa serta latihan percukaian.\nSebelum menjawat portfolio Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, YBhg. Datuk Mohd Nizom\u00a0 Sairi juga pernah memegang beberapa jawatan di LHDNM, termasuklah sebagai Pengarah Jabatan Siasatan LHDNM, Pengarah Akademi Percukaian Malaysia, Pengarah Pematuhan Cukai dan Pengarah Negeri LHDNM Perak. Beliau juga pernah menyandang jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) sebelum ini.\nLHDNM merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada YBhg. Datuk Mohd Nizom Sairi atas pelantikan ini. Berbekalkan pengalaman luas yang dimiliki, sudah pasti beliau mampu mencapai visi LHDNM untuk menjadi pentadbir cukai terunggul selari dengan aspirasi untuk membina sebuah Keluarga Malaysia yang terangkum." "AirAsia, Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka di Asia Lima Tahun Berturut-turut\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSepang \u2013 Meskipun dilanda cabaran sepanjang pandemik COVID-19, AirAsia kekal mempertahankan kredibilitinya selama lima tahun berturut-turut sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia 2021.\nTidak hanya mendapat pengiktirafan tersebut, AirAsia turut dianugerahkan sebagai Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia untuk tahun keenam di World Travel Awards 2021 edisi ke-28.\n\u201cWorld Travel Awards merupakan satu daripada program anugerah yang paling berprestij di dalam industri pelancongan global yang mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan di seluruh sektor utama industri perjalanan, pelancongan dan hospitaliti,\u201d kata Graham E. Cooke, Pengasas World Travel Awards.\nMelalui kenyataan media pada hari ini, syarikat AirAsia mengungguli kategori utama berikutan jumlah undian tertinggi daripada pengguna dan penggiat industri profesional di rantau ini.\nKetua Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation, Bo Lingam berkata: \u201cKejayaan ini merupakan pencapaian yang sangat luar biasa dan kami tujukan anugerah ini kepada AllStars yang bekerja keras walaupun dilanda krisis semasa, namun masih mementingkan keutamaan kepada para pelanggan.\u201d\nKini kami dapat melihat keadaan semakin pulih dan kami tidak sabar untuk kembali terbang lebih tinggi di semua pasaran utama dengan standard keselamatan dan kepatuhan tertinggi sempena pembukaan sekatan perjalanan secara beransur-ansur.\n\u201cKami mengucapkan terima kasih kepada World Travel Awards, serta lebih 600 juta pelanggan yang telah terbang bersama kami, dan rakan industri atas sokongan dan pengiktirafan mereka.\nMenurut beliau, susulan pandemik COVID-19, AirAsia dapat mengenal pasti setiap aspek operasinya secara lebih menyeluruh untuk kembali aktif serta stabil. AirAsia menawarkan pelbagai pengalaman perjalanan dan gaya hidup sehenti melalui aplikasi AirAsia Super App.\nSementara itu, Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia, Suhaila Hassan mengatakan bahawa anugerah Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia ini dapat memperkukuh lagi komitmen AirAsia untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.\nKami percaya 18 bulan yang lalu merupakan masa yang amat mencabar untuk semua orang, terutamanya mereka yang berada dalam industri penerbangan dan pelancongan. Anugerah ini sekali lagi mencerminkan keunggulan AirAsia dalam perkhidmatan yang mengutamakan pelanggan kami. Kami tidak sabar untuk kembali menyambut para pelanggan dengan perkhidmatan terbaik di ASEAN sempena pembukaan semula sekatan perjalanan.\nSetelah melalui fasa pandemik COVID-19 ini, AirAsia akan terus komited memenuhi permintaan pengguna dari semasa ke semasa serta meningkatkan daya keselamatan dalam mengorak langkah pemulihan terhadap perjalanan udara yang merangkumi domestik dan antarabangsa." "Kadar Inflasi Meningkat 2.2 Peratus pada September 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Indeks Harga Pengguna (IHP) menunjukkan peningkatan 2.2 peratus pada September 2021 kepada 122.8 berbanding dengan 120.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. IHP merekodkan kenaikan bagi bulan kelapan berturut-turut semenjak Februari 2021 disebabkan oleh kesan asas pada tahun lalu. Jabatan Perangkaan Malaysia mengeluarkan laporan berkaitan Indeks Harga Pengguna (IHP), September 2021 pada hari ini.\nMengulas lebih lanjut, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato\u2019 Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin menekankan bahawa \u201cKumpulan pengangkutan terus mencatat kenaikan dua digit sejak Mac dan terus meningkat 11.0 peratus pada September 2021 berbanding dengan tahun lalu. Makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 1.9 peratus dan peningkatan tertinggi dicatatkan oleh subkumpulan daging (5.8 peratus) disebabkan oleh kenaikan purata harga ayam pada September lalu, iaitu RM9.35 sekilogram berbanding dengan RM8.50 pada September tahun lalu.\u201d\n\u201cSelain itu, subkumpulan ikan dan makanan laut meningkat 3.5 peratus, terutamanya disebabkan oleh peningkatan dalam purata harga ikan kembong kepada RM15.60 (September 2020: RM14.30) dan ikan selayang kepada RM11.40 (September 2020: RM9.80).\u201d\nTambahan pula, hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah turut meningkat 1.7 peratus diikuti oleh perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.7 peratus) dan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.6 peratus). Kedua-dua restoran dan hotel dan kesihatan mencatatkan peningkatan marginal 0.3 peratus, manakala minuman alkohol dan tembakau meningkat 0.4 peratus. Komunikasi kekal tidak berubah, manakala pakaian, kasut, pelbagai barangan dan perkhidmatan kedua-duanya menurun negatif 0.5 peratus. Pendidikan juga merekodkan penurunan marginal negatif 0.1 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya.\nMenurut Dato\u2019 Sri Dr. Mohd. Uzir, IHP bagi suku tahun ketiga 2021 meningkat 2.2 peratus kepada 122.6 berbanding dengan 120.0 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya. Bagi perbandingan suku tahunan pula, IHP mencatatkan penurunan negatif 0.4 peratus berbanding dengan suku tahun kedua 2021.\nBagi perbandingan dari bulan ke bulan, IHP meningkat 0.2 peratus berbanding Ogos 2021. Peningkatan ini disumbangkan oleh makanan dan minuman bukan alkohol (0.6 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.1 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.1 peratus).\nSelain itu, indeks teras yang meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali item makanan segar yang mempunyai harga tidak menentu serta harga yang dikawal meningkat 0.6 peratus pada September 2021 berbanding dengan tahun sebelumnya. Antara kumpulan yang mendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (1.7 peratus); dan makanan dan minuman bukan alkohol (1.0 peratus).\u201d\nSementara itu, IHP tanpa bahan api meningkat 0.8 peratus pada September 2021 kepada 113.4 berbanding dengan 112.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali Petrol Tanpa Plumbum RON95, Petrol Tanpa Plumbum RON97 dan Diesel.\nSecara keseluruhannya, kesemua negeri mencatatkan peningkatan IHP pada September 2021. Lapan negeri, iaitu Terengganu (3.1 peratus), Pahang (2.8 peratus), Kelantan (2.8 peratus), Sarawak (2.5 peratus), Perak (2.5 peratus), Johor (2.4 peratus), Kedah dan Perlis (2.4 peratus) dan Melaka (2.3 peratus) menunjukkan peningkatan melepasi paras IHP nasional 2.2 peratus pada September 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya. Kesemua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol.\nPeningkatan tertinggi dicatatkan oleh Pahang (2.7 peratus), diikuti oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.4 peratus), Perak (2.4 peratus), Terengganu (2.2 peratus), Johor (2.2 peratus), Melaka (2.2 peratus) dan Kelantan (2.1 peratus). Sementara itu, peningkatan bagi negeri selebihnya adalah di bawah paras indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol nasional." "Indeks Pelopor Kembali Pulih Petunjuk Ekonomi Malaysia Semakin Baik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013\u00a0Jabatan Perangkaan Malaysia menerbitkan Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak dan\u00a0Susulan bagi Ogos 2021. Indeks Pelopor (IP) merupakan alat yang digunakan untuk memberikan petunjuk ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.\nMengulas terhadap laporan tersebut, Dato\u2019 Sri Dr. Mohd.\u00a0Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia berkata:\u00a0\u201cPrestasi IP pada Ogos 2021 semakin reda dengan 106.2 mata, mencatatkan pertumbuhan negatif yang lebih baik pada 2.3 peratus (Julai 2021: -4.0\u00a0peratus) berbanding dengan bulan yang sama pada tahun 2020.\nPenurunan IP dipengaruhi oleh kemerosotan dalam Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan berikutan pasaran hartanah yang mencabar dan sentimen pesimis dalam kalangan pelabur semasa pandemik COVID-19. Bagi perbandingan bulanan, IP menunjukkan peningkatan sebanyak 1.1 peratus dengan kebanyakan komponen mencatatkan pertumbuhan positif terutamanya didorong oleh kenaikan dalam jangkaan nilai jualan di sektor pembuatan (1.3 peratus).\nDengan mengambil kira prestasi IP yang lebih baik dan peralihan lebih banyak negeri di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), beliau menjangkakan bahawa ekonomi negara berkemungkinan besar semakin baik pada bulan\u00a0yang berikutnya. Selain itu, prospek pembangunan ekonomi yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) akan memacu pemulihan ekonomi melalui agenda jangka panjang global dan nasional sepanjang\u00a0tahun\u00a02021 hingga 2025.\nIndeks Serentak (IS) yang mencerminkan prestasi aktiviti ekonomi semasa menurun 1.6 peratus pada Ogos 2021 (Julai 2021: -5.2\u00a0peratus), namun trend penurunan yang lebih baik. Indeks itu telah merekodkan 108.2 mata berbanding dengan 110.0 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya. IS telah meningkat 4.2 peratus pada Ogos 2021. Kapasiti Penggunaan di sektor pembuatan (2.9\u00a0peratus) dan indeks kuantiti perdagangan runcit (0.9\u00a0peratus) merupakan penyumbang utama kepada peningkatan dalam IS." "Keuntungan yang Dikejar, Riba yang Digenggam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nFaedah bank ini lebih rendah, lagi untung untuk pinjaman jangka panjang.\u201d\n\u201cBayar minimum penggunaan kad kredit, penalti nanti 1% sahaja. Sedikit sahaja perlu bayar.\u201d\n\u201cKami hutang dulu jongkong emas ini dengan Mak ya, apabila harga emas naik, kami bayar hutang emas ni balik.\u201d\n\u201cMak Cik, petang-petang sikit ya saya bagi semangkuk garam halus, sekarang saya guna dulu garam kasar makcik ini untuk masak gulai.\n\nUngkapan-ungkapan seumpama ini sering kali kita mendengarnya dalam kehidupan seharian tanpa mengendahkan hukum pengharaman riba, sekali gus telah bersekongkol dengan jenayah Syariah. Riba bermaksud tambahan, menambah atau menjadikannya lebih daripada apa-apa yang diberikan. Riba merupakan amalan semenjak zaman Jahiliah dan masyarakat menganggapnya sebagai penghasilan yang tidak suci. Hal ini terbukti semasa pembinaan untuk proses pembaikan Kaabah, mana-mana sumbangan daripada sumber yang bercampur dengan riba ditolak sama sekali.\nRiba sering kali wujud dalam institusi kewangan konvensional yang melibatkan aktiviti pinjaman. Contoh situasi yang dapat diterjemahkan ialah apabila Puan A memohon pinjaman peribadi wang berjumlah RM100 000 dari bank konvensional dan disyaratkan membayar balik wang tersebut dengan nilai RM104 000 (4% faedah). Maka itu, lebihan nilai atas hutang pokok tersebut yang bernilai RM4000 itu ialah riba. Contoh situasi lain pula, Puan B meminjam wang berjumlah RM10 000 daripada Ah Long dan pembayaran semula perlu dilakukan sebelum 31 Disember 2021, namun Puan B tidak dapat melunaskan hutang pada tarikh tersebut dan meminta dilanjutkan tempoh untuk bayaran semula. Tempoh baharu diberikan sehingga 1 Jun 2022, tetapi jumlah bayaran yang dikenakan bertambah menjadi RM11 000. Oleh itu, tambahan RM1000 yang dikenakan itu ialah riba.\nRiba juga boleh berlaku dalam pelaburan terutamanya yang melibatkan barangan riba seperti emas dan perdagangan pertukaran mata wang asing (forex). Pelabur emas pada kebiasaannya membeli emas tanpa ada fizikal (gharar), tidak berlaku penyerahan (taqabbud), kaedah lock price dan ETA (estimated time of arrival) yang memungkinkan terdedah dengan unsur riba. Begitu juga dengan pelaburan yang melibatkan mata wang atau forex yang masih terdedah dengan riba disebabkan bercanggahan dengan syarat pertukaran riba. Antara aktiviti forex yang terdedah dengan riba seperti pengenaan rollover interest, syarat jual beli dalam pemberian hutang melalui leverage dan qabd yang tidak jelas ketika transaksi pertukaran, penjualan mata wang yang tiada dalam pegangan dan spekulasi. Spekulasi juga turut melibatkan perjudian (maysir).\nSelain itu, riba juga boleh didapati dalam urus niaga dan perdagangan sama ada daripada modal pinjaman ataupun transaksi barang perniagaan (barangan ribawi). Kaedah jual beli syiling emas, wafer dan jongkong emas secara ansuran atau dalam talian contohnya boleh membawa kepada berlakunya riba fadl (riba pertukaran).\nAmalan riba juga tidak mustahil wujud dalam kehidupan seharian kita yang melibatkan pertukaran barangan ribawi yang menyalahi syarat pertukaran tanpa kita sedari. Umpamanya ketika kita kehabisan garam kasar untuk memasak dan meminta menukarkan garam tersebut dengan garam halus daripada jiran sebelah rumah. Apabila serahan tidak berlaku serta merta boleh menghasilkan riba fadl yang kita mungkin tidak perasan. Begitu juga apabila pertukaran dengan kawan kita semangkuk kurma Ajwah dengan 2 mangkuk kurma Mariami yang kita miliki akan menghasilkan riba fadl.\nBarangan ribawi ada enam jenis yang dibahagikan kepada dua kelompok; Kelompok pertama ialah mata wang, iaitu emas dan perak, manakala kelompok kedua ialah makanan asasi, iaitu gandum, barli, tamar dan garam. Wang kertas, iaitu Ringgit Malaysia merupakan mata wang dikiaskan dengan emas manakala beras dikiaskan dengan makanan asasi penduduk Malaysia (\u2018uruf).\nHadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh \u2018Ubadah bin al-Samit: \u201cEmas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam, perlu sama, timbangan sama dan diserah tangan segera. Jika dengan jenis yang berbeza, juallah seperti mana kamu kehendaki selagi ia serahan segera.\u201c(Riwayat Muslim)\nTerdapat tiga syarat khusus perlu dipatuhi bagi memastikan transaksi barangan ribawi ini tidak berlaku riba. Syarat tersebut ialah;\nAllah SWT mengisytiharkan perang ke atas pelaku riba. Hal ini terkandung dalam penegasan-Nya dalam ayat 278-279 Surah al-Baqarah yang bermaksud: \u201cWahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba, jika kamu orang yang beriman. Jika kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya.\u201d (al-Baqarah\u2019: 278-279)\nDaripada Ibn Mas\u2019ud, Nabi SAW bersabda: \u201cSesungguhnya riba walaupun banyak (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya akan membawa kepada sedikit dan papa.\u201c (Riwayat Ahmad)\nMalah, tidak keterlaluan dikatakan mereka yang mengamalkan riba seperti berzina dengan ibu bapa sendiri kerana Nabi SAW bersabda: \u201cRiba mempunyai 73 pintu, riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.\u201c (Riwayat Ibn Majah, sahih menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim)\nMaka itu, jelaslah bahawa riba termasuk dalam kategori tujuh dosa besar di samping syirik, sihir, membunuh, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang serta menuduh perempuan suci berzina. Oleh sebab itu, wajib bagi setiap Muslim untuk sentiasa berhati-hati dan meyakini adanya maut dan menjauhi perkara haram supaya terhindar daripada azab-Nya.\nKita mungkin alpa tatkala perundangan riba tidak digazet di negara ini dengan pelaksanaannya dalam institusi kewangan konvensional berlaku secara terang-terangan dan dilanggan oleh kebanyakan orang tanpa rasa berdosa sekali gus menjadi alasan untuk masih bersama riba. Kita juga sering memberi alasan sibuk, malas, belum sampai seru dan pelbagai lagi alasan untuk tidak berubah. Natijahnya sehingga hari ini masih banyak umat Islam memiliki harta \u201criba\u201d yang tidak wajar sama sekali wujud dalam kehidupan seorang Muslim.\nMalaysia merupakan model terunggul di Asia Tenggara yang menerajui sistem kewangan Islam. Masyarakat Islam di Malaysia mempunyai pelbagai pilihan produk dan perkhidmatan kewangan Islam mengikut kehendak dan keselesaan masing-masing. Oleh hal yang demikian, tiada alasan untuk bergelumang dengan riba lagi. Antara penyelesaian untuk mengelak riba yang boleh dicadangkan, termasuklah:\nHari ini kita diuji dengan pandemik COVID-19 yang melemahkan sistem ekonomi negara, peningkatan angka kemiskinan, menambahkan tekanan masyarakat, menghilangkan nikmat kesihatan dan meragut ribuan nyawa. Sudah tiba masanya kita meletakkan prioriti keberkatan dalam amalan harian kita agar ujian seumpama ini dapat \u201cditawan\u201d dengan kesabaran yang tinggi dan mendapat pertolongan daripada Yang Maha Esa. Riba wajib dibuang secara total dalam kehidupan kita agar keberkatan harta terjaga. Kehilangan berkat dalam harta berlaku apabila kuantiti harta yang banyak tidak pernah cukup bagi memenuhi keperluan dan mudah hilang atau habis melalui jalan yang tidak berfaedah. Malah, harta itu menjadi asbab ringannya pemilik untuk melakukan maksiat, berada dalam kefasiqan dan hina di sisi Allah SWT, sekali gus membawa kepada hilangnya sifat amanah, cenderung kepada rasuah, penipuan dan tamak haloba.\nProfesor Madya Dr. Salmy Edawati Yaacob, Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia." "Daulatkan Bahasa Kebangsaan di Tempat Awam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPemantauan bahasa di tempat awam merupakan antara tugas dan tanggungjawab Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul digunakan secara meluas bagi segala maksud melalui arahan, ulasan, nasihat, bantuan, bimbingan, latihan atau pengawasan, seperti yang termaktub dalam Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (Pindaan dan Perluasan) 1995. Projek ini dilaksanakan untuk mengesan kesilapan bahasa yang berlaku atau yang dipamerkan di tempat awam seperti pada papan iklan luar, papan iklan premis perniagaan, gegantung dan kain rentang yang jika tidak dicegah dengan segera akan mencemarkan maruah bahasa kebangsaan.\nGaris Panduan Perancangan Papan Iklan Luar 2009 menggariskan bahawa penggunaan bahasa Melayu hendaklah dipastikan betul dan tepat dari segi penggunaan perkataan, susunan ayat, ejaan, tatabahasa dan sebagainya. Penggunaan bahasa yang betul juga hendaklah merujuk dan mendapat pengesahan daripada pihak DBP.\nSurat arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 24 Februari 2015, nombor rujukan JKT.D.100-1/3/2 Jld. 6 (19) mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mewajibkan pengiklan dan agensi pengiklanan mendapatkan pengesahan bahasa Melayu yang baik dan betul daripada DBP sebelum mereka diberi lesen untuk menyiarkan iklan di tempat awam.\nSehubungan dengan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah (DBPWTgh) dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya dan Majlis Bandaraya Seremban telah melaksanakan program pemantauan bahasa di tempat awam di sekitar Putrajaya, Seremban dan Nilai. Program ini disertai oleh Munsyi Dewan (Puan Mahaya Mohd. Yassin), pegawai Perbadanan Putrajaya, pegawai Majlis Bandaraya Seremban dan pegawai DBPWTgh pada 16 hingga 18 November 2021 yang lalu.\nProgram ini bertujuan bagi merakam, menegur dan mengambil tindakan untuk membetulkan kesilapan bahasa dengan kadar segera. Secara khususnya, program ini dilaksanakan dengan objektif untuk menilai tahap penggunaan bahasa kebangsaan pada papan iklan luar, papan iklan premis perniagaan, gegantung dan kain rentang; menilai keberkesanan penguatkuasaan bahasa kebangsaan pada papan iklan luar, papan iklan premis perniagaan, gegantung dan kain rentang seperti yang diperuntukkan oleh Undang-undang Kecil Iklan yang diterima pakai oleh PBT; mengenal pasti kesilapan bahasa, dan mengenal pasti punca masalah tersebut serta membuat teguran kepada pihak yang berkaitan; dan meningkatkan kerjasama dengan semua pihak, terutamanya pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan dan pihak swasta dengan menawarkan kursus kebahasaan, khidmat nasihat bahasa dan sebagainya untuk mengurangkan kesalahan penggunaan bahasa kebangsaan pada papan iklan atau papan tanda.\nPemantauan bermaksud memberikan pengawasan termasuklah memantapkan, menilai atau mengkaji, menyemak dan membaiki, mengambil tindakan susulan dan membuat laporan dalam pelbagai tujuan untuk mengembangkan dan meningkatkan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan bermutu pada papan iklan luar, papan iklan premis perniagaan, gegantung dan kain rentang.\nAspek utama yang akan dinilai ialah tahap dan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan bermutu pada papan iklan luar, papan iklan premis perniagaan, gegantung dan kain rentang. Oleh yang demikian, kesungguhan PBT dapat dilihat apabila menggunakan bahasa kebangsaan selaras dengan Surat Pekeliling Am bilangan 1 tahun 2006 berkenaan Langkah-langkah Memperkasakan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam dan Undang-undang Kecil Iklan pada setiap PBT dan surat arahan KPKT berhubung dengan Penguatkuasaan Pengesahan Bahasa Melayu oleh DBP dalam Iklan di Tempat Awam.\nIsu penggunaan bahasa kebangsaan yang salah, tidak tepat dan bercampur aduk dalam pengiklanan sering menimbulkan kecaman dan kritikan orang ramai sehingga isu ini disiarkan dalam media cetak dan media elektronik. Dengan adanya pemantauan bahasa yang dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak, terutamanya pihak berkuasa tempatan dan badan bukan kerajaan diharapkan dapat memenuhi wawasan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju yang berasaskan acuan sendiri serta dapat dikongsi bersama oleh semua pihak. Penggunaan bahasa kebangsaan yang baik di tempat awam mencerminkan citra negara ini.\nSelain itu, kerjasama yang lebih erat dapat dijalinkan antara DBP dengan PBT melalui khidmat nasihat atau pengesahan bahasa. Kerjasama ini dapat membantu kedua-dua pihak melaksanakan tugas dan tanggungjawab ke arah mencapai matlamat penubuhan institusi masing-masing.\nOleh itu, terdapat dua aspek yang diambil kira semasa melakukan pemantauan, iaitu:\n\u00a0\n2. Mutu penggunaan bahasa kebangsaan, iaitu bermaksud bahasa yang digunakan di tempat awam mematuhi peraturan tatabahasa bahasa Melayu seperti yang digariskan dalam buku Tatabahasa Dewan dan pedoman-pedoman bahasa yang dikeluarkan oleh DBP yang berkaitan dengan aspek yang berikut:\nPemantauan bahasa di tempat awam dilaksanakan kerana masih banyak kesalahan bahasa yang dilakukan di tempat tumpuan awam. Selain itu, pihak DBP juga dapat menilai keakuran pemilik iklan mematuhi arahan KPKT dan Undang-undang Kecil Iklan PBT dengan memperagakan iklan yang telah disahkan oleh DBP sahaja. Pemantauan bahasa ini dilaksanakan secara bersinergi dengan Perbadanan Putrajaya dan Majlis Bandaraya Seremban. Pemantauan ini dijalankan bersama-sama Bahagian Pelesenan atau Bahagian Penguatkuasaan Perbadanan Putrajaya dan Majlis Bandaraya Seremban untuk menguatkuasakan penggunaan bahasa kebangsaan di kawasan pentadbiran masing-masing dan untuk mewajibkan pemohon mendapatkan pengesahan penggunaan bahasa Melayu daripada DBP terlebih dahulu sebelum memohon lesen atau permit iklan.\nHasil dapatan daripada pemantauan yang dibuat, dapatlah disimpulkan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan yang betul pada papan tanda dan papan iklan di sekitar Putrajaya, Nilai dan Seremban pada 16 November 2021 hingga 18 November 2021 secara keseluruhannya memuaskan. Banyak usaha telah dan sedang diteruskan untuk memaparkan ejaan, terjemahan, pemilihan kata dan penggunaan tatabahasa yang betul. Dalam konteks ini, ukuran papan iklan premis perniagaan turut dititikberatkan.\nTerdapat juga sesuatu yang amat menginspirasikan seperti penggunaan tulisan Jawi. Pada nama jalan di taman ditambah dengan tulisan Jawi pada bahagian permulaan papan tanda. Kompleks Kehakiman Syariah, Negeri Sembilan Darul Khusus misalnya menggunakan sepenuhnya tulisan Jawi pada sebelah kiri laluan masuk, sementara di bahagian kanan pula bertulisan Rumi sepenuhnya.\nWalau bagaimanapun, penggunaan bahasa kebangsaan bersama-sama bahasa asing dan penggunaan bahasa asing sepenuhnya masih terdapat pada papan iklan perniagaan. Ada juga aspek ejaan, tatabahasa dan terjemahan yang tidak tepat di beberapa papan tanda. Contohnya, \u201cSEEHAT STORE\u201d, \u201cDISINI\u201d, \u201cONLINE\u201d dan \u201cATAS TALIAN\u201d. Nama jalan dan taman perumahan dalam bahasa Inggeris turut digunakan. Contohnya, \u201cJALAN DILLENIA 3\u201d, \u201cGREEN TECHNOLOGY PARK\u201d, \u201cGARDEN AVENUE\u201d, \u201cGARDEN HOMES\u201d, dan \u201cVISION HOMES\u201d." "Cukup-cukuplah Menyisihkan Barangan Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKempen Beli Barangan Malaysia memasuki usia 23 tahun pada tahun ini. Pada tahun 2010, penjenamaan semula dilancarkan daripada kempen Beli Barangan Buatan Malaysia. Hal ini bermakna sudah lebih dua dasawarsa kerajaan bertungkus lumus bagi mempromosikan kempen ini kepada rakyat. Kita sedia maklum bahawa pelbagai iklan, wacana, perbincangan dan artikel dipaparkan menerusi media massa dilakukan untuk menjentik rakyat supaya membeli barangan tempatan. Secara umumnya, barangan termasuk dalam kategori benda dan perkhidmatan.\nPembelian barangan tempatan sangat penting dalam usaha meningkatkan ekonomi negara. Namun begitu, dalam tempoh pandemik COVID-19, ekonomi Malaysia tidaklah begitu memberangsangkan. Hal ini dapat dibuktikan apabila Kementerian Kewangan Malaysia sedar akan risiko ketidaktentuan ekonomi domestik dan global akibat penularan varian baharu COVID-19. Pandemik memberikan kesan kepada kemampuan ekonomi setiap individu. Kuasa beli pengguna semakin menurun, namun hal ini tidak menghalang masyarakat untuk terus berbelanja. Akibat tekanan yang dihadapi semasa wabak, selain terkurung di dalam rumah, masih terdapat individu yang mengurangkan keresahan dan rasa stres mereka dengan mendapatkan barangan atau perkhidmatan yang diingini.\nOleh sebab itu, suatu persoalan penting yang harus dipersoalkan selama 23 tahun ini, benarkah kempen ini dilihat berjaya meraih perhatian dan sokongan masyarakat? Dalam hal ini, sekiranya kita melihat semula kejayaan kempen Beli Barangan Malaysia, ternyata kita belum mampu berbangga dengan hasilnya. Hal ini dikatakan demikian kerana rakyat masih gemar membeli barangan dari luar negara disebabkan persepsi terhadap jenama antarabangsa lebih hebat dan berkualiti. Sekiranya kita meneliti sikap sesetengah masyarakat, mereka dimomokkan dengan barangan Malaysia yang tidak membawa imej mewah, status, kelas dan mutu.\nLebih teruk lagi apabila harga murah dan berpatutan yang ditawarkan itu mewujudkan rasa syak wasangka terhadap kualiti barangan tempatan. Sikap prejudis inilah yang menyebabkan barangan tempatan ketinggalan jauh ke belakang. Hal ini amat menyedihkan kerana masyarakat tempatan sendiri tidak yakin dengan produk dan servis tempatan. Berbicara tentang barangan tempatan, usahlah kita melupakan jenama tempatan yang memperoleh ruang dalam pasaran antarabangsa seperti Proton, Perodua, Munchy\u2019s, BABAS, Dutch Lady dan pelbagai lagi.\nKesedaran terhadap jenama tempatan masih rendah kerana terdapat masyarakat yang tidak mengenali barangan tempatan, lebih-lebih lagi barangan yang dihasilkan \u00c2\u00a0oleh usahawan tempatan yang terlibat dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Lebih tepat lagi, tidak ada keinginan untuk ambil tahu kerana kurang dipedulikan sejak dahulu lagi. Walaupun penandaan logo buatan Malaysia dilakukan terhadap kebanyakan produk, keadaan ini tidak memberikan impak yang secukupnya terhadap pembelian barangan tempatan.\nBagi kebanyakan individu, hak membeli itu merupakan pilihan sendiri dan tidak boleh dipaksa. Mereka bebas memilih apa-apa jenama yang berprestij dan bertaraf antarabangsa kerana wang yang dibelanjakan itu sememangnya milik mereka. Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia berkemungkinan besar masih tidak meninggalkan sebarang kesan kepada masyarakat. Walaupun kempen ini dijalankan secara meluas, namun tidak bermakna benar-benar sampai kepada rakyat. Barangkali kaedahnya masih tidak cukup efektif untuk meningkatkan keyakinan pembeli.\nMasih banyak produk yang belum dihasilkan oleh usahawan tempatan. Perkara ini menjurus terhadap monopoli barangan luar dalam pasaran ekonomi negara. Tidak cukup dengan itu, pembelian produk dari luar negara, terutamanya dari China kerana negara itu mengeluarkan hampir semua produk yang dicari oleh pengguna dunia. Tambahan pula, China menawarkan harga murah dan mampu milik, sekali gus menjadi satu daripada faktor penarik.\nPenyelesaian tuntas perlu dilakukan bagi menangani cabaran ekonomi yang dilihat agak kompleks ini. Oleh sebab kita menganggap kempen ini membuang masa dan tidak akan memberi sebarang kemaslahatan, kita wajar mengubah tanggapan masyarakat bahawa hal ini merupakan masalah yang perlu diperbaiki. Sekiranya kita ingin melihat masyarakat berbangga dengan barangan tempatan dan menyokong hasrat murni ini selari dengan waktu pandemik, maka kita wajar melakukan beberapa perkara.\nAplikasi media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan TikTok tidak asing lagi dalam kehidupan setiap individu. Media sosial ini menjadi medan sebaran baharu yang menggantikan wahana komunikasi tradisional. Setiap usahawan dan industri yang memasarkan barangan tempatan harus mempromosikan barangan mereka. Lebih berkesan sekiranya mereka menggunakan tanda pagar (#BeliBaranganBuatanMalaysia) dalam hantaran, kapsyen dan ciap untuk memudahkan carian masyarakat. Tidak cukup dengan itu, setiap individu yang membeli barangan tempatan boleh mengkritik dan menilai sekiranya sesuatu produk atau perkhidmatan itu bermasalah supaya kesilapan boleh diperbaiki dan mewujudkan kesedaran bahawa masyarakat sangat menitikberatkan kualiti sesuatu barangan. Bukan sahaja kritikan, malah pujian dan penilaian positif paling signifikan perlu dilakukan untuk meningkatkan keyakinan para pembeli kerana media sosial menawarkan keupayaan untuk berkomunikasi dengan pelbagai cara.\nSelain itu, tidak dapat dinafikan bahawa kuasa tular daripada pempengaruh kini dikatakan begitu ampuh. Kuasa pempengaruh kini begitu penting untuk menyampaikan saranan atau cadangan kepada masyarakat. Dengan memuat naik video mempromosikan barangan tempatan di TikTok dan YouTube misalnya, majoriti masyarakat akan menontonnya, sekali gus meningkatkan rasa minat untuk memilikinya.\nPada masa yang sama, aplikasi e-Dagang seperti Shopee, GoShop dan Lazada wajar bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam mewujudkan ruang atau kategori barangan tempatan dalam platform dagangan mereka. Hal ini memudahkan masyarakat untuk mengenal pasti barangan tempatan yang ditawarkan mengikut jenis produk. Pihak yang berkenaan juga boleh mencipta aplikasi baharu yang hanya menjual barangan tempatan sepenuhnya. Jika dilihat pada tahun 2019, Karnival Beli Barangan Malaysia Peringkat Kebangsaan diadakan di Johor. Dalam tempoh pandemik sebelum ini, aktiviti seperti ekspo dan karnival tidak dapat dijalankan secara fizikal. Oleh hal yang demikian, pihak berwajib disarankan untuk mengadakan e-karnival yang memfokuskan barangan tempatan sahaja.\nMasyarakat seharusnya tidak berasa ragu-ragu untuk membeli dan mencuba barangan tempatan. Berbelanjalah dengan membeli barangan tempatan kerana sokongan kita diperlukan dan budaya mencintai barangan tempatan perlu diterapkan dalam diri masing-masing. Sekiranya tidak berpuas hati dengan kualiti barangan, teruslah menghulurkan kritikan supaya penambahbaikan dapat dilakukan. Segala konotasi negatif terhadap barangan tempatan perlu dibuang mulai sekarang.\nPembukaan kedai serbaneka barangan tempatan yang menjual pelbagai keperluan harian perlulah dijual dengan harga yang berpatutan. Suka atau tidak, barangan tempatan perlu bersaing dengan produk luar negara bagi mendapat tempat dalam hati masyarakat.\nSeterusnya, usaha untuk meningkatkan pengeluaran produk yang sukar ditemui di Malaysia perlu dilakukan secara berperingkat. Barangan yang sentiasa dikehendaki masyarakat, namun tidak dapat dijumpai perlu dibawa ke pasaran semasa. Lambakan barangan tempatan dengan permintaan masyarakat yang setara mampu mengurangkan pembelian barangan antarabangsa. Dengan penawaran subsidi kerajaan, harga yang ditawarkan pasti berbaloi untuk dibeli. Hal ini seterusnya dapat membantu mengurangkan aktiviti import dari luar negara dan juga pengaliran wang keluar.\nWalaupun kesemua cadangan ini tidak mampu dilaksanakan dalam jangka masa pendek, namun demi melihat perubahan yang komprehensif, hal ini wajar difikirkan secara mendalam. Cukup-cukuplah masyarakat Malaysia sendiri menyisihkan barangan buatan Malaysia.\n\nEra endemik ini merupakan waktu terbaik untuk kita membantu negara, usahawan kecil atau persendirian dan industri tempatan. Tiada sesiapa akan membeli barangan tempatan sekiranya rakyat sendiri memandang enteng usaha mereka. Wabak ini menyebabkan kebanyakan orang kehilangan pekerjaan. Peluang pekerjaan pula semakin terhad dalam kalangan graduan baharu. Sekiranya rakyat Malaysia berganding bahu dengan menyokong hasrat murni pembelian barangan tempatan ini, semestinya permintaannya akan terus meningkat. Sekiranya permintaan bertambah, pengeluaran juga berlaku secara mendadak dan mampu membawa kepada penambahan tenaga kerja apabila rakyat Malaysia dapat mengisi peluang pekerjaan yang terhasil daripada usaha tersebut. Hanya dengan sebuah usaha kecil kita ini, kita dapat menikmati hasilnya untuk jangka masa panjang." "Kepentingan Jepun di Djibouti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada Jun lalu, genap 44 tahun hubungan diplomatik Jepun\u2013Djibouti. Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe pernah melawat Djibouti pada Ogos 2013, manakala Presiden Djibouti, Ismail Omar Guelleh pula melawat Jepun pada Disember 2010, Jun 2013 dan Ogos 2019. Hubungan bilateral itu diperkukuh dengan lawatan menteri-menteri dari Jepun dan Djibouti. Antara menteri dari Jepun yang melawat Djibouti termasuklah Menteri Pertahanan, Itsunori Onodera (Mei 2014), Gen Nakatani (Januari 2015), Tomomi Inada (Ogos 2016) dan Taro Kono (Disember 2019) pernah melawat Djibouti.\nMenteri dari Djibouti pula ialah Menteri Kesihatan, Abdallah Abdillahi Miguil (Mac 2010), Menteri Pertanian, Penternakan dan Sumber Hidraulik, Abdoulkader Kamil Mohamed (Oktober 2010), Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa, Mahmoud Ali Youssouf (Ogos 2018) dan Perdana Menteri, Abdoulkader Kamil Mohamed (Oktober 2019). Setakat tahun 2018, Djibouti telah menerima geran sebanyak 33.01 bilion yen. Kerjasama teknikal pula melibatkan 6.19 bilion yen. Pada 10 Mac 2020, Jepun memberikan geran bantuan kecemasan bernilai A.S.$7.5 juta kepada Kenya (A.S.$3.6 juta), Somalia (A.S.$3.1 juta) dan Djibouti (A.S.$0.8 juta) akibat kerosakan yang disebabkan belalang.\nPada 12 November 2020, Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun menandatangani perjanjian geran bernilai 2.092 bilion yen dengan kerajaan Djibouti untuk projek pembinaan sekolah rendah dan menengah di Nassib, Balbala. Perdagangan Djibouti \u2013 Jepun pada tahun 2020 bernilai 89 juta yen bagi eksport yang membabitkan produk perikanan. Manakala, import bernilai 1.04 bilion yen yang melibatkan kenderaan, besi, keluli dan mesin.\nEksport dari Jepun ke Djibouti pada tahun 2000 bernilai A.S.$18.6 juta. Pada tahun 2001 pula bernilai A.S.$11.5 juta, A.S.$14.8 juta (2002), A.S.$23.7 juta (2003), A.S.$29.6 juta (2004), A.S.$45.4 juta (2005), A.S.$43.8 juta (2006), A.S.$71.8 juta (2007), A.S.$51.2 juta (2008), A.S.$90.6 juta (2009), A.S.$37.1 juta (2010), A.S.$65 juta (2011), A.S.$42.9 juta (2012), A.S.$11.3 juta (2013), A.S.$35 juta (2014), A.S.$48.5 juta (2015), A.S.$31.8 juta (2016), A.S.$51.4 juta (2017), A.S.$33.5 juta (2018) dan A.S.$51.2 juta (2019).\nWalau bagaimanapun, nilai eksport dari Djibouti ke Jepun jauh lebih rendah. Nilai eksport pada tahun 2002 berjumlah A.S.$3820. Pada tahun 2003 pula bernilai A.S.$43 200, A.S.$3820 (2004), A.S.$5400 (2007), A.S.$5640 (2008), A.S.$924 000 (2009), A.S.$436 000 (2010), A.S.$9600 (2012), A.S.$48 700 (2014), A.S.$1920 (2016), A.S.$52 500 (2017), A.S.$11 300 (2018) dan A.S.$5610 (2019).\nJepun mempunyai pangkalan tentera di Djibouti sejak tahun 2011 bagi menangani ancaman lanun di Teluk Aden, pantai Somalia dan penglibatan dalam pelbagai misi berkaitan dengan aspek keselamatan yang lain. Lokasi Djibouti amat strategik kerana terletak di Selat Bab el-Mandab yang menjadi laluan masuk ke Laut Merah. Hampir 19 000 buah kapal melalui selat tersebut pada tahun 2020. Kepentingan strategik terbabit menyebabkan banyak negara menempatkan pangkalan tentera. Teluk Aden merupakan laluan perkapalan terpenting bagi Jepun. Pada tahun 2020, sebanyak 1600 buah kapal dagang Jepun yang terdiri daripada kapal pengangkut kenderaan (25%), kapal pembawa kontena (24%), lain-lain muatan (18%), kapal tangki kimia (17%) dan kapal pengangkut pukal (15%) melalui teluk terbabit.\nAktiviti pelanunan di Teluk Aden dan sekitar pantai Somalia meningkat sejak tahun 2001 hingga 2011. Pada tahun 2001, sebanyak 20 insiden pelanunan dilaporkan. Manakala pada tahun-tahun seterusnya melibatkan 18 insiden (2002), 21 insiden (2003), 12 insiden (2004), 48 insiden (2005), 22 insiden (2006), 51 insiden (2007), 111 insiden (2008), 218 insiden (2009), 219 insiden (2010) serta 237 insiden (2011). Kegagalan menangani aktiviti pelanunan akan merugikan pelbagai negara. Hal ini dikatakan demikian kerana kapal-kapal dari Timur terpaksa melalui Tanjung Harapan, Afrika Selatan untuk ke Eropah. Laluan kapal yang semakin jauh menelan kos sebanyak A.S.$89 juta setahun.\nSejak tahun 2009, kapal pemusnah Jepun dan pesawat rondaan maritim P-3C mula terlibat dalam operasi antipelanunan, mengiringi kapal dan menjalankan pengawasan di Teluk Aden. Sebelum mempunyai pangkalan, pesawat Jepun beroperasi dari pangkalan Amerika Syarikat (AS) di Kem Lemonnier yang berada di sebelah selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Djibouti \u2013 Ambouli. Pangkalan milik Jepun pula terletak bersebelahan dengan Kem Lemonnier. Pangkalan seluas 12 hektar tersebut mampu menempatkan 180 orang anggota pengawal pantai dan Pasukan Pertahanan Diri Jepun serta apron dan hangar pesawat. Pembinaannya menelan kos sebanyak A.S.$40 juta.\nApabila mempunyai pangkalan, Jepun telah menempatkan satu atau dua kapal pemusnah dan dua buah pesawat P-3C. Setakat 31 Disember 2020, kapal pemusnah Jepun telah mengiringi 3922 buah kapal pelbagai negara yang melalui Teluk Aden. Manakala sejak Jun 2009 hingga 31 Disember 2020, jumlah aktiviti pengawasan oleh pesawat Jepun melibatkan 2 653 misi penerbangan dan 19 610 jam penerbangan. Aktiviti pelanunan juga menurun di Teluk Aden dan sekitar pantai Somalia. Pada tahun 2012, sebanyak 75 insiden pelanunan dilaporkan. Pada tahun 2013, hanya 15 insiden dilaporkan, 11 insiden (2014), 2 insiden (2016), 9 insiden (2017) dan 3 insiden (2018). Manakala, tiada insiden pelanunan dilaporkan bagi tahun 2015, 2019 dan 2020.\nSebagai langkah bersiap siaga, Jepun masih melaksanakan latihan cegah pelanunan bersama-sama tentera laut dari pelbagai negara dalam European Union Naval Force (EUNAVFOR) dan Combined Task Force 151 (CTF151). Pada Januari, Februari, Jun, Julai dan Oktober 2020, Jepun bersama-sama Sepanyol, Jerman dan Pakistan telah melaksanakan latihan mencegah aktiviti pelanunan. Pada 10 Mei 2021 pula, Jepun, Itali, Sepanyol dan Djibouti mengadakan latihan antipelanunan bersama-sama di Teluk Aden. Britain dan Jepun mengadakan latihan yang sama pada 11\u201312 Julai 2021.\nSelain misi antipelanunan, pangkalan tersebut digunakan untuk menyokong penglibatan Jepun dalam Misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Sudan Selatan sejak tahun 2012, mengagihkan bantuan perubatan pada tahun 2013 susulan serangan pengganas terhadap loji gas asli di Nigeria yang mengorbankan 10 orang warga Jepun dan memindahkan warga Jepun dari Sudan Selatan pada Julai 2016. Ketika lawatan ke Djibouti pada Ogos 2016, Menteri Pertahanan Jepun, Tomomi Inada mengumumkan bahawa Tokyo akan mengembangkan lagi fungsi pangkalannya. Pada tahun 2017, Jepun melaksanakan latihan operasi pemindahan di pangkalan tersebut.\nTindakan Jepun yang meluaskan peranan pangkalannya di Djibouti dilihat sebagai usaha untuk mengimbangi pengaruh China di Afrika. China mula membuka pangkalannya di Djibouti pada tahun 2017. Pada tahun 2019, pelaburan langsung asing China di Afrika berjumlah A.S.$44 bilion berbanding dengan Jepun yang berjumlah A.S.$20 bilion untuk tempoh 2016\u20132018, manakala eksport China ke Afrika pula berjumlah A.S.$113 bilion dan import pula berjumlah A.S.$78 bilion pada tahun 2019. Perdagangan Jepun\u2013Afrika pula hanya bernilai A.S.$17 bilion. Hal ini membuktikan bahawa pengaruh China melalui pelaburan dan perdagangan didapati lebih besar berbanding dengan Jepun. Walau bagaimanapun, penglibatan Djibouti dianggap masih penting sebagai langkah keselamatan, sekali gus meluaskan pengaruh Jepun di Afrika." "Harga Petrol RON97 Naik 10 Sen, RON95 dan Diesel Kekal\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) dalam kenyataan semalam memaklumkan bahawa harga runcit petrol RON97 meningkat sebanyak 10 sen seliter kepada RM2.97 mulai hari ini hingga 3 November 2021.\nManakala harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-masing masih kekal dengan harganya RM2.05 dan RM2.15 seliter bagi tempoh sama.\nKenaikan ini adalah berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik.\n\u201cBagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling, iaitu RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter.\n\u201cSungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang ditetapkan.\nTambah MoF, kerajaan akan terus komited memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara." "Pembukaan Aktiviti Sosial Melonjakkan Prestasi Ekonomi Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerbitkan Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 10/2021. MESR menumpukan kepada senario ekonomi pada Ogos 2021 dan sorotan statistik akan datang bagi September 2021.\nDato\u2019 Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia berkata: \u201cPada masa ini, situasi COVID-19 kelihatan terkawal dengan jumlah kes harian baharu berkurangan dalam tempoh kebelakangan ini. Tambahan pula, liputan populasi dewasa yang tinggi dan peningkatan bilangan remaja yang divaksin sepenuhnya akan meredakan krisis kesihatan. Keadaan itu memberikan perkembangan positif kepada negara dengan harapan ekonomi akan kembali bangkit menuju pemulihan. Selari dengan itu, beberapa petunjuk ekonomi juga menunjukkan prestasi yang lebih baik\u201d.\nPrestasi dagangan Malaysia meneruskan momentum positif pada September 2021 dengan jumlah dagangan meningkat 25.5 peratus (Ogos 2021: 15.7%). Eksport berkembang 24.7 peratus (Ogos 2021: 18.4%), manakala import meningkat 26.5 peratus (Ogos 2021: 12.5%), yang seterusnya menghasilkan lonjakan lebihan dagangan 19.1 peratus (Ogos 2021: 44.7%).\nBerdasarkan kepada prestasi industri, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) mencatatkan penguncupan marginal 0.7 peratus berbanding dengan bulan yang sama tahun sebelumnya, dengan trajektori negatif yang lebih baik daripada negatif 5.1 peratus dicatatkan pada Julai 2021. IPP dipengaruhi oleh penyusutan indeks perlombongan dan indeks elektrik. Sementara itu, nilai jualan pembuatan pada Ogos 2021 berjumlah RM126.5 bilion, menyumbang kepada pertumbuhan yang lebih tinggi 6.8 peratus berbanding dengan Ogos 2020.\nMelihat kepada sektor perkhidmatan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit masih terkesan berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan, iaitu menyusut 10.2 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2021 berbanding dengan penyusutan 14.7 peratus pada Julai 2021, yang menandakan pertumbuhan negatif yang lebih baik. Sebaliknya, sektor pertanian menunjukkan trend penurunan dengan pengeluaran getah asli merosot 3.6 peratus pada Ogos berbanding dengan pertumbuhan dua angka sebanyak 16.3 peratus pada Julai 2021. Di samping itu, pengeluaran buah tandan segar pada September 2021 turut menyusut 10.4 peratus tahun ke tahun.\nMengulas berhubung pasaran buruh pada Ogos 2021, Dato\u2019 Sri Dr. Mohd. Uzir menjelaskan bahawa bilangan penduduk bekerja terus meningkat bagi bulan keenam iaitu sebanyak 1.5 peratus atau pertambahan 223.1 ribu orang kepada 15.38 juta orang. Nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga berada pada 65.2 peratus. Sementara itu, kadar pengangguran menurun 0.1 mata peratus kepada 4.6 peratus.\nTambah beliau, \u201cDari perspektif harga, pada bulan Ogos 2021, Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 2.0 peratus disumbangkan terutamanya oleh kumpulan Pengangkutan. Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan meningkat 11.3 peratus tahun ke tahun, didorong oleh indeks Perlombongan yang melonjak kepada 51.8 peratus\u201d.\nKetua Perangkawan juga menyatakan, \u201cIndeks Pelopor (IP) pada Ogos 2021 memberikan isyarat bahawa ekonomi Malaysia berkemungkinan besar semakin baik pada bulan-bulan berikutnya. IP meningkat pada 106.2 mata pada bulan rujukan kepada pertumbuhan negatif yang lebih baik iaitu 2.3 peratus tahun ke tahun selepas mencatatkan negatif 4.0 peratus pada Julai 2021. Pada Ogos 2021, IP mencatatkan kenaikan bulan ke bulan sebanyak 1.1 peratus disokong oleh kebanyakan komponen IP. Keadaan itu selari dengan peralihan lebih banyak negeri di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan lebih banyak aktiviti ekonomi kembali dibenarkan beroperasi dengan pematuhan kepada prosedur standard operasi. Seterusnya, pemulihan ekonomi akan dipacu oleh agenda jangka panjang global dan nasional sepanjang 2021 hingga 2025 seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-12\u201d.\nDato\u2019 Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin merumuskan bahawa semua pihak perlu berganding bahu untuk memastikan keseimbangan melindungi kesihatan dan kelangsungan kehidupan apabila Malaysia semakin hampir untuk beralih ke fasa endemik dalam masa terdekat. Kerjasama itu boleh memastikan ekonomi negara dapat dipulihkan dalam jangka masa terdekat." "Import dan Eksport Malaysia Terus Catat Pertumbuhan yang Kukuh\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJumlah aktiviti eksport Malaysia terus mencatat nilai tertinggi baharu, iaitu sebanyak RM110.8 bilion bersamaan dengan 24.7 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya. Melengkap kepada prestasi yang kukuh, dagangan import juga mencatat kenaikan 26.5 peratus kepada RM84.7 bilion dari tahun ke tahun.\nKetua Perangkawan Malaysia, Dato\u2019 Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin mengatakan bahawa peningkatan dagangan eksport ini didorong oleh aktiviti eksport domestik dan eksport semula, iaitu peningkatan dari tahun ke tahun ke-13 bulan berturut-turut sejak September 2020 lalu.\nEksport domestik berjumlah RM87.7 bilion turut menyumbang 79.1 peratus kepada jumlah dagangan eksport, iaitu peningkatan sebanyak 22.4 peratus, manakala eksport semula dengan nilai RM23.2 bilion, meningkat 34.1 peratus dari tahun ke tahun.\nDato\u2019 Sri Dr. Mohd. Uzir turut menjelaskan bahawa peningkatan eksport didorong oleh keluaran petroleum (RM5.6 bilion); barangan perkilangan logam (RM3.6 bilion); minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit RM2.8 bilion); barangan elektrik dan elektronik (RM2.2 bilion); kimia dan bahan kimia (RM1.7 bilion); barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (RM1.2 bilion); barangan besi dan keluli (RM1.1 bilion) dan gas asli cecair (RM1.1 bilion).\nTambahnya lagi, import Malaysia yang turut menyumbang RM17.7 bilion berbanding dengan bulan yang sama pada tahun 2020 disokong oleh kenaikan permintaan bagi barangan perantaraan, barangan modal dan barangan penggunaan.\n\u201cSeiring dengan pemulihan aktiviti ekonomi domestik kesan daripada pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN), prestasi dari bulan ke bulan bagi eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan telah menunjukkan pertumbuhan kukuh, iaitu masing-masing 16.0 peratus, 14.2 peratus, 15.2 peratus dan 22.2 peratus,\u201d ujar beliau dalam kenyataan media pada hari ini." "Dunia Kewartawanan Mendorong ke Arah Keusahawanan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSkim Pemisahan Sukarela (VSS) yang ditawarkan oleh pengurusan Utusan Malaysia kepada hampir 700 orang kakitangannya, termasuklah kumpulan editorial surat khabar kompak, Kosmo! Pada tahun 2018 mengakibatkan banyak yang kehilangan pekerjaan, sekali gus pendapatan tetap. Perkara ini menyebabkan mereka tidak mempunyai banyak pilihan sehingga terpaksa nekad untuk memulakan kehidupan baharu dalam pelbagai karier demi kelangsungan hidup.\nBegitulah yang dialami oleh Mohd. Faizal Zakaria (atau lebih dikenali sebagai Faizal), 45 tahun yang pada ketika itu menjawat jawatan sebagai Pengarang Prosesan Editorial Kosmo!. Faizal telah berkhidmat dengan Utusan-Kosmo! sejak tahun 2004 lagi. Latar belakang akademik yang melibatkan penyelidikan berasaskan sains, khususnya kerjaya sebagai saintis dan pengamal media, menyebabkan Faizal buntu seketika apabila beliau dan rakan sekerja yang lain mendapat notis untuk memohon VSS tersebut. Apakah pekerjaan selepas menamatkan karier? Timbul beberapa persoalan yang sering bermain di minda dan rakan sekerja yang lain.\n\n\n\u201cKami dimaklumkan notis permohonan untuk VSS adalah sebagai formaliti kerana pada ketika itu juga kewangan Utusan-Kosmo! berada di ambang kritikal. Saya menyedari kerjaya sebagai \u201corang media\u201c tidak selamanya stabil kerana perubahan gaya hidup berlaku begitu pantas apabila telefon pintar dan pelbagai pelantar media sosial muncul bagai cendawan selepas hujan.\n\u201cPersaingan sengit daripada semua pelantar media sosial perlu bersaing dengan media Konvensional, khususnya akhbar bercetak. Hal ini menyebabkan kesan jualan (sirkulasi) dan pendapatan iklan berkurangan hampir 80 peratus,\u201c jelas Mohd. Faizal yang merupakan graduan dalam bidang Mikrobiologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM).\nPermohonan VSS Faizal pada bulan Ogos diluluskan oleh pengurusan Utusan-Kosmo! pada Oktober 2018. Nasib yang sama dirasai oleh ratusan rakan sekerja sehingga ada yang seolah-olah tidak percaya bahawa mereka akan menoktahkan perjuangan sebagai lidah masyarakat untuk selama-lamanya.\nMeskipun dilanda ujian yang bersar, Faizal tidak menunggu lama untuk memulakan langkah baharu demi kelangsungan hidup. Pengalaman terlibat dalam pelbagai liputan melibatkan subjek unsur kemanusiaan, pergolakan politik, seni dan budaya, dunia korporat dan pelbagai rencah kehidupan memberikan satu kekuatan dan kelebihan anak kelahiran Kluang, Johor ini.\nMemulakan kerjaya sebagai wartawan kadet di Utusan Malaysia dan dua minggu kemudiannya dipinjamkan ke akhbar Kosmo! kerana akhbar kompak yang baharu ditubuhkan pada tahun tersebut memerlukan beberapa wartawan baharu yang telah dilatih oleh pihak editorial Utusan. \u201cAsalnya dipinjamkan sebagai wartawan di Meja Khas, Kosmo!, namun terus diserapkan sebagai wartawan tetap di akhbar tersebut. Orang kuat Kosmo! pada ketika itu, Allahyarham Datuk Baharom Mahusin mengesan bakat kewartawanan saya, walaupun pada hakikatnya kemajuan akademik saya berteraskan bidang Sains Gunaan.\nDunia kewartawanan agak asing kepada diri saya, namun saya mencabar diri sendiri untuk melihat potensi dan sejauh mana kerjaya sebagai pengamal media mampu bertahan. Benarlah, telahan saya bahawa pengalaman dalam bidang media dan kewartawanan membuka mata agar lebih berani menerokai pelbagai bidang di luar kebiasaan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.\nAllahyarham Datuk Baharom sering memberikan galakkan agar saya mencari peluang dan ruang untuk memajukan diri, seperti menjadi pensyarah sambilan di beberapa universiti untuk menambah pendapatan.\nSelain itu, beliau juga membantu saya \u201cmencantikkan\u201c laporan berbentuk penyiasatan tentang pencemaran air di Lembah Klang dan Selangor. \u201cLaporan yang bertajuk Air Tercemar tersebut memberikan tuah kepada bapa kepada lima orang cahaya mata ini apabila mendapat pengiktirafan sebagai pemenang utama yang membawa pulang Anugerah Kajai 2004 bersempena dengan Anugerah Kewartawanan Malaysia (anjuran Petronas dan Institut Akhbar Malaysia, MPI),\u201d kongsi Faizal apabila mengimbas kembali perjalanan kerjayanya sebagai pengamal media selama hampir 20 tahun.\nSelepas memenangi Anugerah Kajai 2004, semangat Faizal untuk meningkatkan kualiti dunia kewartawanan dan pemberitaan khususnya penulisan rencana semakin berkobar-kobar sementelah, pengurusan Utusan-Kosmo! melihat akhbar tersebut berpotensi untuk berkembang dan menjana pendapatan yang tinggi walaupun masih hijau dalam liga media di Malaysia. Pelbagai kejayaan demi kejayaan dicipta akhbar tersebut hasil kerja keras pasukan editorial yang di ketuai oleh Allahyarham Datuk Baharom, Faizal dan rakan editorial, serta wartawan akhbar berkenaan.\n\u201cKusangka panas hingga ke petang, namun hujan di tengah hari. Itulah perumpamaan kerja saya di akhbar Kosmo!. Kami mengambil VSS dan masing-masing memilih haluan hidup demi kelangsungan walaupun tidak pasti ke mana hala tuju pada masa akan datang,\u201d kongsinya.\nMenurut Mohd. Faizal, keputusan mengambil VSS menjadi titik permulaan baharu bagi beliau dan rakan niaga, Wan Komo untuk memilih haluan hidup masing-masing demi kelangsungan hidup yang tidak pasti baik ataupun sebaliknya.\n\u201cSaya dan seorang rakan sekerja yang merupakan pereka grafik, Norazwan Nazim atau lebih dikenali sebagai Wan Komo mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah syarikat yang memberikan perkhidmatan berkaitan dengan media, seperti membuat rekaan grafik, penerbitan video promosi (produk dan perkhidmatan), membekal bahan berkaitan dengan penganjuran majlis atau acara dan perkhidmatan konsultasi.\n\u201cOleh itu, tertubuhlah perniagaan Make It Bigger Resources (Make It Bigger) yang memulakan operasi di Kota Damansara, Selangor. Pejabat kami pada ketika itu merupakan sebuah \u201cpejabat perkongsian\u201d dengan pelbagai individu seperti kami yang tidak mampu untuk menyewa premis secara total kerana kekangan kewangan.\n\u201cKami diberikan kad akses keluar masuk pejabat berkenaan, menggunakan perkhidmatan dan kelengkapan pejabat seperti mesin mencetak, menggunakan nombor telefon, bilik mesyuarat, bilik istirahat, kafe dan sebagainya. Keadaan ini amat selesa dan sesuai untuk kami berdua bagi membina jenama kerana kami mengambil risiko yang tinggi untuk menerokai dunia keusahawanan yang sangat asing bagi kami,\u201d ujar Faizal yang kini bergelar usahawan sepenuh masa hampir empat tahun.\nBenarlah, tiada jalan pintas untuk berjaya. Bayangkan kami menubuhkan syarikat ini pada \u00a0penghujung tahun 2018 dengan tiada langsung modal pusingan. Duit gaji dan pampasan VSS digunakan untuk membayar pinjaman bank (rumah, kereta dan pinjaman peribadi) dan bayaran lain, termasuklah kos sara hidup keluarga masing-masing.\nPada ketika itu, pelanggan pertama mereka ialah seorang pengasas produk kesihatan yang memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Make It Bigger untuk merangka kempen media dan periklanan produk tersebut dengan bayaran pertama sebanyak RM30 000 dan yang kedua sebanyak RM20 000.\nWalaupun bayaran tersebut agak besar untuk syarikat baharu ini, namun apabila mengambil kira aspek kos untuk kempen tersebut, margin atau keuntungannya hanyalah sekitar RM6000. Namun begitu, bagi Mohd. Faizal dan rakan niaganya, hal ini merupakan satu titik tolak kejayaan syarikat mereka kerana hasil keuntungan tersebut membuatkan mereka berjaya meneruskan operasi syarikat sehingga ke hari ini.\nKini, selepas mengharungi pelbagai onak dan duri dalam dunia perniagaan keusahawanan ini, Mohd. Faizal dan Wan Komo mampu tersenyum bangga kerana syarikat perniagaannya mampu bertahan sehingga pada saat getir, lebih-lebih lagi semasa ketika ini akibat penularan pandemik COVID-19. Penularan wabak ini banyak menyaksikan ribuan syarikat, khususnya milik Bumiputera tersungkur satu per satu, namun Make It Bigger terus bertahan stabil dan berada pada kelasnya yang tersendiri." "Belanjawan Terbesar dalam Sejarah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2013\u00a0Yang Berhormat Mulia, Senator\u00a0Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia, selesai membentangkan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat pada petang tadi. Belanjawan itu dijangka mendapat sokongan dwipartisan apabila merujuk memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan pihak pembangkang sebelum ini.\nBelanjawan 2022 dianggap sebagai belanjawan terbesar dalam sejarah negara apabila kerajaan memperuntukkan sebanyak RM332.1 bilion, iaitu meningkat sebanyak tiga peratus daripada belanjawan sebelum ini. Jumlah tersebut turut merangkumi belanjawan pengurusan dan pembangunan negara.\nSemasa pembentangan Belanjawan 2022, kerajaan menganggarkan ekonomi negara akan mengalami pertumbuhan antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus pada tahun hadapan. Hal ini membuktikan bahawa kerajaan terus komited untuk terus melonjakkan ekonomi negara berikutan seluruh dunia yang terkesan akibat pandemik COVID-19.\nDari segi peruntukan kepada keseluruhan kementerian, Kementerian Pendidikan Malaysia \u00a0terus kekal mendapat peruntukan terbesar berjumlah RM52.6 bilion atau 16 peratus daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan Persekutuan.\u00a0Untuk rekod, sebanyak RM150 akan diberikan kepada murid prasekolah, RM1 bilion diperuntukkan untuk proses penambahbaikan sekolah, manakala peruntukan sebanyak RM120 juta diberikan kepada sekolah vernakular Cina dan Tamil.\nYBM Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul turut mengumumkan pelbagai insentif kepada pelbagai jabatan dalam perkhidmatan awam. Turut menarik perhatian dalam pengumuman itu termasuklah pengumuman bonus sebanyak RM700 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah dan sebanyak RM350 juga diberikan kepada pesara.\nSelain itu, tiada sektor yang terpinggir dalam pengumuman Belanjawan 2022 sebentar tadi. Pelbagai aspek yang berkaitan dengan ekonomi negara turut\u00a0 disentuh dan yang paling mencuri tumpuan termasuklah cadangan kerajaan untuk menggubal Akta Tanggungjawab Fiskal untuk meningkatkan tanggungjawab dan ketelusan dalam pengurusan fiskal negara. Rang Undang-undang itu dijangka akan digubal pada tahun hadapan. Jika diteliti, hampir tiada sektor yang terpinggir daripada mendapat manfaat dalam Belanjawan 2022." "Belanjawan 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Purata Inflasi Negara Diunjur 2.0 hingga 3.0 Peratus bagi Tahun 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u00a0\u2013\u00a0Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan purata inflasi keseluruhan negara pada tahun 2021 berada dalam unjuran julat antara 2.0 peratus hingga 3.0 peratus.\nJangkaan tersebut adalah selari dengan penilaian sebelum ini dengan mengambil kira tahap inflasi negara yang mencatatkan nilai sebanyak 2.3 peratus sejak awal tahun sehingga sekarang.\nInflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka berpurata bawah 1.0 peratus pada tahun 2021. Menjelang tahun 2022, inflasi keseluruhan diunjurkan kekal sederhana.\n\u201cJika kegiatan ekonomi kembali normal, inflasi teras dijangka meningkat sedikit, namun masih rendah berikutan keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi dan dalam pasaran pekerja.\n\nWalau bagaimanapun, prospek tersebut akan terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global dan beberapa risiko daripada gangguan berkaitan dengan bekalan yang berlanjutan.\nPada masa sama, BNM mengumumkan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang diadakan pada hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 1.75 peratus.\nSementara itu, MPC menyifatkan pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif dengan \u00a0langkah-langkah fiskal dan monetari yang diambil dijangka akan terus mengurangkan kesan ekonomi terhadap perniagaan dan isi rumah,\u00a0serta memberikan sokongan kepada kegiatan ekonomi.\nBNM turut mengulangi komitmennya untuk menggunakan alat-alat dasar yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan." "Ez-Qurban: Perkhidmatan Profesional yang Diyakini dan Berkualiti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPeristiwa dipandang sinis oleh sebilangan kecil sesetengah pihak pada tahun 2007 terhadap penubuhan EZ Qurban Sdn. Bhd. (EZ Qurban), tidak dapat dilupakan oleh Ahmad Fadzlullah Hasanuddin yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif EZ Qurban Sdn. Bhd. Pada masa itu, tiada syarikat seumpamanya yang menawarkan perkhidmatan ibadat korban kepada umat Islam bagi menterjemahkan pengorbanan Nabi Ibrahim AS untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail AS atas perintah Allah SWT.\nKorban atau dalam bahasa Arabnya, \u201cqurban\u201d bermaksud dekat atau mendekatkan atau disebut juga Udhhiyah atau Dhahiyyah secara harfiah bererti haiwan sembelihan. Pelaksanaan korban merupakan antara ibadah penting kepada umat Islam yang melibatkan penyembelihan haiwan ternakan (seperti kambing, biri-biri, unta dan lembu) untuk dipersembahkan kepada Allah SWT. Pelaksanaan korban dilakukan pada 10 Aidiladha (11, 12 dan 13 hari tasyrik) bulan Zulhijah dalam kalendar Islam.\nPerniagaan berasaskan aktiviti korban dan akikah tidak mungkin dapat dikomersialkan dan kebiasaannya ibadat korban ini hanya dilakukan di masjid dan surau atau di tepi kawasan perumahan. Perkara inilah yang sering dimomokkan oleh sesetengah masyarakat umum terhadap teras perniagaan EZ Qurban.\n\u201cBayangkan, jika kami mendengar dan mengambil serius terhadap pandangan negatif tersebut, nama EZ Qurban mungkin tidak berjaya sehingga ke peringkat ini. Tidak mungkin perniagaan berasaskan ibadat umat Islam yang hukumnya ialah sunat \u201cmuakkad\u201d (sangat dituntut) ini begitu mudah dilaksanakan dengan bantuan teknologi maklumat dan penggunaan telefon pintar, semuanya di hujung jari sahaja.\n\nMenurut Nor\u2019adzimah Hassanuddin, Pengarah Urusan EZ Qurban, syarikat EZ Qurban pada peringkat awal hanyalah bermula dengan tiga orang kakitangan di sebuah pejabat di Batu Caves, Selangor. Tenaga kerja mereka pada ketika itu masih lagi kurang cekap dan tidak mempunyai pengalaman dalam mengendalikan perniagaan berkaitan dengan perkhidmatan sehenti ibadat korban dan akikah.\nSemuanya masih janggal dan asing. Aktiviti dan urusan korban dan akikah semuanya dilakukan secara manual, iaitu daripada urusan pendaftaran, pemilihan lokasi pelaksanaan korban dan akikah, urusan pembayaran perkhidmatan sehinggalah urusan surat-menyurat.\n\u201cNamun begitu, hal ini tidak mematahkan semangat kami untuk berhenti meneruskan perniagaan walaupun menerima pelbagai maklum balas terhadap perniagaan EZ Qurban. Alhamdulillah, selepas 15 tahun membuka syarikat ini, EZ Qurban terus mengorak langkah dan mencipta pelbagai kejayaan demi kejayaan yang tidak pernah terjangkau oleh saya dan suami, Azhar Ab. Shukur yang merupakan pencetus kepada perniagaan ini.\nPerniagaan yang berdaya saing tidak semestinya berteraskan produk dan perkhidmatan perniagaan yang konvensional. Walaupun terdapat sesetengah ahli perniagaan melihat potensi dalam bidang perniagaan seperti membuka agensi pelancongan yang menguruskan jemaah menunaikan haji dan umrah, penjualan pakaian yang mengikut sunah agama Islam (seperti jubah, tudung, telekung, sejadah dan kopiah) dan menjual pelbagai produk makanan mungkin menjadi satu daripada pilihan perniagaan yang tepat, namun sebaliknya bagi perniagaan EZ Qurban.\nPasaran perniagaan yang berbentuk konvensional amat kompetitif dan tepu pasarannya. Bagi menyediakan pusat sehenti untuk umat Islam menunaikan ibadat korban dan akikah pada 15 tahun yang lalu merupakan idea yang tidak masuk akal. Maka itu, EZ Qurban melihat perkara ini sebagai satu peluang dan ruang yang sangat terbentang luas untuk mereka menerokai bidang perniagaan ini.\n\u201cSetiap tahun jumlah haiwan korban yang dilaksanakan di masjid dan surau amat tinggi sehingga permintaan daripada umat Islam untuk melaksanakan ibadat tersebut tidak dapat ditampung oleh pihak berkenaan. Maka demikian, inilah merupakan satu peluang keemasan dan memberikan idea kepada kami untuk mewujudkan syarikat (badan profesional) yang menguruskan aktiviti korban dan akikah sepenuhnya,\u201d kata Ahmad Fadzlullah.\n\u201cPada tahun pertama perniagaan kami beroperasi, jumlah haiwan sembelihan yang kami kendalikan untuk khidmat korban dan akikah berjumlah 200 ekor. Pada tahun berikutnya, jumlah tersebut semakin meningkat kepada 400 ekor haiwan ternakan dan seterusnya kepada 800 ekor haiwan pada tahun ketiga beroperasi. Berdasarkan rekod EZ Qurban, sebanyak 150 ribu ekor haiwan ternakan telah dikendalikan bagi tujuan ibadat tersebut daripada tahun pertama operasi hingga tahun 2021.\n \n\u201cPerkembangan ini mendorong usaha yang lebih baik dalam menterjemahkan misi dan visi penubuhan EZ Qurban dengan motonya, \u201cKeutamaan untuk Anda, Keperluan untuk Ummah\u201d. Perkembangan positif dan peningkatan jumlah pelanggan tersebut membuatkan EZ Qurban menerokai pelbagai peluang dalam pasaran global,\u201d ujar Nor\u2019adzimah lagi.\nTidak dapat dinafikan, perubahan gaya hidup sesuai dengan perkembangan teknologi maklumat dan penggunaan telefon pintar memungkinkan pelbagai kaedah perniagaan dijalankan dengan lebih efisien. EZ Qurban tidak terkecuali menerima tempias positif daripada perkembangan tersebut. Syarikat ini saban tahun memperuntukkan sejumlah modal yang amat besar dalam menjayakan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) berkaitan dengan kaedah perniagaan secara dalam talian sehingga diiktiraf sebagai syarikat e-Dagang.\n\u201cPenggunaan telefon pintar dapat dimanfaatkan dengan pelbagai aplikasi dan urusan permohonan serta pembayaran. Kini, tiada lagi penggunaan borang dan pelbagai proses yang rumit yang perlu dilalui oleh pelanggan kami. Senario ini membantu EZ Qurban lebih realistik untuk memantau proses permohonan ibadah korban dan akikah oleh pelanggan yang mengambil perkhidmatan kami.\n\u201cSelain itu, hal ini turut memudahkan proses pengesahan maklumat pelanggan, pembayaran, mengesan status pelaksanaan, mengemas kini data yang perlu dibekalkan kepada pelanggan dan pastinya memudahkan syarikat kami menguruskan setiap pelanggan yang mempunyai 1001 ragam dan permintaan,\u201d jelas Ahmad Fadzlullah.\nMenyentuh tentang potensi perniagaan perkhidmatan korban dan akikah, Ahmad Fadzlullah menjelaskan syarikat ini sentiasa melakukan pelbagai dapatan agar mereka dapat mengubah strategi perniagaan berdasarkan elemen semasa. Berdasarkan bayi beragama Islam ialah sekitar 500 ribu orang. Hal ini bermakna sebanyak 500 ribu ekor kambing diperlukan. Jumlah yang besar ini sebenarnya sangat berpotensi jika syarikat yang menyediakan urusan korban dan akikah mampu menguruskannya. Oleh itu, sebagai pusat sehenti yang menguruskan hal ini perlu berusaha memberikan pendedahan untuk mendidik masyarakat agar melaksanakan ibadat sunat, seperti korban dan akikah.\n\u201cPada tahun 2003, saya dan suami tinggal di Kemboja, apabila tiba sahaja hari raya korban, berpusu-pusu rakyat Malaysia datang ke negara tersebut bagi menjayakan ibadat korban. Hal ini dikatakan demikian kerana umat Islam di Kemboja pada ketika itu sangat daif dan miskin. Mereka tidak mampu untuk menikmati kehidupan yang selesa sehinggakan struktur rumah mereka tidak seperti yang kita bayangkan seperti bekalan air bersih yang tidak mencukupi, apatah lagi untuk menikmati makanan seperti daging (kambing dan lembu) pastinya jauh panggang dari api.\n\u201cMaka timbullah persoalan berkaitan dengan senario sebegini dan mengapakah tidak diwujudkan sebuah syarikat (organisasi) yang menyediakan perkhidmatan sehenti untuk ibadat korban dan akikah ini? Sebaik-baik sahaja pulang semula ke Malaysia, kami tidak menjadikan idea dan omongan ketika di Kemboja itu sekadar perbualan kosong semata-mata, maka tertubuhlah EZ Qurban,\u201d ujar Nor\u2019adzimah yang mempunyai impian dan Hasrat menjadikan EZ Qurban sebagai syarikat yang progresif.\n\u201cPenjenamaan sangat penting kepada kami kerana selain daripada menguar-uarkan perkhidmatan yang ditawarkan bagi mendidik masyarakat Malaysia tentang perkhidmatan yang ditawarkan oleh EZ Qurban, hal ini juga merupakan satu kaedah agar umat Islam di negara ini dapat berkongsi kemakmuran dan kemampuan dalam melaksanakan ibadat tersebut untuk dikongsikan kepada golongan yang tidak berkemampuan bukan sahaja di Malaysia, malah di 37 buah negara yang terlibat.\u201d\n\u201cSelain daripada menerbitkan iklan komersial (TVC) dan jingle untuk siaran televisyen, radio dan media maya, EZ Qurban juga menaja program seperti Syahadah yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada sepanjang bulan Ramadan tahun 2017. Langkah ini sangat berkesan dan memberikan impak yang sangat besar kepada teras perniagaan EZ Qurban,\u201d ujar Ahmad Fadzlullah." "PABM 2021 Mengulang Sejarah Kegemilangan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJOHOR BAHRU \u2013 Penganjuran yang paling berprestij, Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021 menutup tirainya pada malam tadi sekali gus berjaya membuktikan bahasa Melayu mampu berada di kedudukan yang tinggi di persada antarabangsa.\nBerucap dalam majlis perasmiannya, Perdana Menteri YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob menyeru semua pihak untuk berperanan dalam memperkukuh dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengungkap ilmu dan bahasa antarabangsa seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi.\nKatanya, masyarakat perlu mengembalikan sejarah kegemilangan bahasa Melayu yang pernah menjadi bahasa lingua franca pada zaman kerajaan Srivijaya. Pada masa ini, terdapat 6000 bahasa yang masih digunakan tetapi hanya 20 bahasa sahaja yang dikategorikan sebagai bahasa rasmi. Oleh itu, kita perlu berasa bangga kerana bahasa Melayu merupakan satu daripada bahasa rasmi tersebut dan menduduki tangga ke-10 sebagai bahasa yang paling popular penggunaannya di dunia.\nMenurut YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri, walaupun bahasa Melayu berada di celah-celah persaingan bahasa Inggeris, bahasa ini tetap ampuh dan mempunyai ritma yang tersendiri serta sentiasa mekar dalam tamadun dunia. Bahasa Melayu tidak akan lenyap seperti bahasa lain hasil kesepaduan penutur di rumpun Nusantara yang terdiri daripada negara Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam sebagai pendukung utama. Oleh sebab itu, tidak mustahil bahawa bilangan penutur bahasa Melayu pada masa ini sudah pun melebihi 300 juta orang dan akan terus berkembang serta mampu mengembalikan peranannya sebagai bahasa lingua franca.\nTrend penggunaan bahasa Inggeris dalam program swasta, syarikat yang berkaitan dengan kerajaan dan agensi kerajaan, malah penggunaan nama-nama syarikat dan jenama produk sudah menjadi lumrah.\nSaya berharap setiap persidangan, mesyuarat dan lain-lainnya mesti menggunakan bahasa Melayu selepas ini. Siapalah lagi yang boleh mengangkat bahasa Melayu melainkan kita sendiri.\nPABM 2021 merupakan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi, Dewan Bahasa dan Pustaka, serta rakan sinergi yang lain. Pada kali ini, Universiti Teknologi Malaysia menjadi tuan rumah bagi acara yang bermula dari 23 November hingga 26 November 2021.\nPenganjuran ini merupakan kali ke-14 sejak kali pertama dianjurkan pada tahun 2007 dan Malam Kemuncak PABM pula diadakan pada 28 November 2021. Yang turut hadir ialah Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Menteri Besar Johor,\u00a0 YAB Dato\u2019 Haji Hasni Mohamad." "Pembukaan Semula Industri Perniagaan, Kadar Pengangguran Menurun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJabatan Perangkaan Malayia (DOSM) melaporkan dalam siaran Statistik Tenaga Buruh\u00a0berkaitan dengan kadar pengangguran di Malaysia telah menurun kepada 4.5 peratus,\u00a0iaitu sebanyak 729.6 ribu penganggur.\nKetua Perangkawan Malaysia, Dato\u2019 Sri Dr. Mohd.\u00a0Uzir Mahidin memberitahu bahawa\u00a0kedudukan tenaga buruh bertambah baik pada bulan September 2021 apabila bilangan guna tenaga yang terus meningkat dengan adanya peralihan lebih banyak negeri ke fasa berikutnya dalam Pelan Pemulihan Nasional (PPN).\nKebenaran rentas negeri di kawasan Lembah Klang ditambah dengan pembukaan semula industri pelancongan domestik di negeri Terengganu dan Pulau Langkawi telah menggalakkan aktiviti ekonomi pada bulan tersebut. Kesemua situasi positif ini mendorong pasaran buruh untuk mendapatkan semula momentum dan kembali kukuh.\nMengulas lebih lanjut, Dato\u2019 Sri Dr. Mohd.\u00a0Uzir berkata, penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 83.7 peratus daripada jumlah penganggur. Kumpulan ini berkurang sebanyak 2.6 peratus merekodkan 611.0 ribu orang. Mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan merangkumi 54.6 peratus,\u00a0manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah sebanyak 8.4 peratus.\nTambah beliau, penganggur tidak aktif yang percaya tiada pekerjaan tersedia juga merekodkan penurunan sebanyak 2.2 peratus kepada 118.7 ribu orang. Sementara itu, kadar pengangguran belia bagi umur 15 hingga 24 tahun kekal pada 13.9 peratus pada bulan tersebut,\u00a0manakala kadar pengangguran bagi belia yang berumur 15 hingga 30 tahun turun sebanyak 0.3 mata peratus kepada 8.5 peratus berbanding bulan sebelumnya 8.8 peratus.\nBilangan tenaga buruh meningkat sebanyak 0.3 peratus dari suku tahun ke suku tahun kepada 16.02 juta orang setelah mencatatkan penurunan pada suku kedua 2021. Bilangan penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.4 peratus kepada 15.27 juta orang terutamanya dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.\nSebaliknya, kadar pengangguran turun kepada 4.7 peratus merekodkan bilangan penganggur seramai 746.2 ribu orang. Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) pada suku ini kekal pada 68.3 peratus mencatatkan KPTB lelaki dan perempuan masing-masing pada 80.9 peratus dan 55.0 peratus.\nMenurut Ketua Perangkawan Malaysia, penurunan kes COVID-19 semakin positif dengan peningkatan jumlah bilangan yang telah lengkap dos vaksin. Malah semua negeri yang berada pada fasa 3 dan fasa 4 diberikan\u00a0kelonggaran untuk melakukan pergerakan rentas negeri,\u00a0sekali\u00a0gus memberikan peluang untuk aktiviti ekonomi dijalankan seperti biasa mengikut prosedur yang ditetapkan.\n\u201cAktiviti ekonomi dinamik yang berterusan akan mempercepatkan proses pemulihan perniagaan, dan sekali\u00a0gus akan meningkatkan permintaan buruh dan akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Ekonomi negara dijangka akan meningkat pada bulan-bulan akan datang yang digambarkan oleh prestasi Indeks Pelopor yang lebih baik.\nSejajar dengan itu, pasaran buruh dijangka akan meningkat secara beransur-ansur dalam tempoh tersebut.\u201d katanya dalam kenyataan pada hari ini." "Jualan Sektor Pembuatan RM135.3 Bilion pada September\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNilai jualan sektor Pembuatan Malaysia pada bulan September 2021 berjumlah RM135.3 bilion, tumbuh sebanyak 11.6 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu. Sementara itu, nilai ini kekal meningkat pada bulan sebelumnya,\u00a06.6 peratus.\nMenurut Ketua Perangkawan Malaysia, Dato\u2019 Sri Dr. Mohd.\u00a0Uzir Mahidin,\u00a0pertumbuhan nilai jualan pada bulan ini dipacu oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik\u00a0dengan\u00a029.2 peratus,\u00a0terutamanya dalam industri pembuatan kok dan produk petroleum bertapis.\n\u00a0\nPerkembangan ini juga didorong oleh subsektor produk makanan, minuman dan tembakau\u00a0dengan\u00a012.0 peratus\u00a0oleh\u00a0industri pembuatan produk makanan,\u00a0serta subsektor produk elektrik dan elektronik\u00a0dengan\u00a010.8 peratus,\u00a0terutamanya dalam industri pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal.\nTambah beliau, peningkatan ini turut disumbangkan oleh pekerja dalam produk elektrik dan elektronik 4.5 peratus, produk petroleum, kimia, getah dan plastik\u00a0sebanyak\u00a01.3 peratus dan produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan sebanyak 1.5 peratus.\nJumlah pekerja sektor pembuatan pada bulan September 2021 sebanyak 2 231 406 orang, meningkat 1.6 peratus berbanding 2 195 300 orang pada September 2020.\nManakala gaji dan upah yang dibayar berjumlah RM7478.8 juta, meningkat 3.6 peratus atau RM261.8 juta pada September 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. Purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3352 pada bulan September 2021.\nBagi tempoh Januari hingga September 2021, nilai jualan sektor pembuatan bertambah 15.1 peratus kepada RM1127.8 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2020. Bilangan pekerja dan gaji dan upah masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.6 peratus dan 2.5 peratus,\u00a0iaitu berjumlah 2.23 juta orang dan RM66.6 bilion." "Imbangan Akaun Semasa Malaysia Rekod Lebihan RM11.6 Bilion\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Imbangan Akaun Semasa Malaysia (CAB) pada suku tahun ketiga 2021 merekodkan lebihan RM11.6 bilion berbanding dengan \u00a0RM14.4 bilion pada suku sebelumnya.\nMemetik laporan Statistik Imbangan Pembayaran dan Kedudukan Pelaburan Antarabangsa Suku Tahun Ketiga 2021, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato\u2019 Sri Dr.\u00a0Mohd.\u00a0Uzir Mahidin mengatakan bahawa\u00a0sebahagian besar lebihan CAB masih disokong oleh eksport bersih yang lebih tinggi dalam akaun Barangan, yakni sebanyak RM41.2 bilion berbanding dengan RM40.7 bilion pada suku sebelumnya.\nTambah Dato\u2019 Sri Dr.\u00a0Mohd. Uzir, berbanding dengan suku tahun kedua 2021, eksport barangan dilihat menurun pada kadar yang lebih perlahan berbanding dengan import. Hal ini secara tidak langsung menyumbangkan\u00a0kepada eksport bersih yang lebih tinggi pada suku tahun ini.\nEksport merosot 3.1 peratus suku ke suku kepada RM236.6 bilion, terutamanya dalam produk berasaskan Elektrik dan Elektronik (E&E), Kimia dan Petroleum dengan sebahagian besarnya ke China, Singapura dan Amerika Syarikat (AS).\n\u201cBegitu juga, import barangan menurun sebanyak 3.9 peratus dari suku ke suku dengan RM195.4 bilion berbanding suku sebelumnya. Hal ini dapat diperhatikan melalui trend menurun bagi import Barangan Perantaraan, Modal dan Penggunaan terutamanya dari China dan Jepun pada suku tahun ini.\nLaporan terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia itu turut memaklumkan bahawa lebihan akaun semasa yang mengecil pada suku kali ini disebabkan oleh defisit yang lebih tinggi dalam akaun pendapatan dengan Akaun Pendapatan primer mencatatkan defisit lebih tinggi sebanyak RM11.3 bilion berbanding dengan RM9.5 bilion pada suku tahun kedua 2021.\nSituasi itu disumbangkan terutamanya oleh syarikat asing di Malaysia yang memperoleh pendapatan lebih tinggi sebanyak RM26.3 bilion, peningkatan sebanyak 3.3 peratus daripada suku sebelumnya khususnya dalam Pelaburan Langsung.\nSyarikat tersebut kebanyakannya terlibat dalam sektor Pembuatan dan Kewangan dengan kebanyakan pendapatannya disalurkan ke Singapura, Belanda dan Amerika Syarikat (AS).\nSementara itu, syarikat Malaysia di luar negara memperoleh pendapatan yang lebih rendah sebanyak RM18.0 bilion berbanding dengan RM19.3 bilion pada suku sebelumnya, khususnya dalam pelaburan Lain.\n\u201cKebanyakan syarikat ini terletak di Indonesia, AS dan Singapura, terutamanya terlibat dalam sektor Kewangan dan Perlombongan.\nDalam pada itu, Pelaburan Langsung Asing (FDI) negara direkodkan berkembang sebanyak RM4.6 bilion dengan mencatatkan aliran masuk lebih tinggi sebanyak RM12.8 bilion pada suku ketiga tahun ini,\u00a0terutamanya dalam bentuk ekuiti dan dana pelaburan saham.\nSektor pembuatan kekal sebagai sektor utama pelaburan asing di Malaysia, diikuti oleh aktiviti Kewangan dan Perdagangan borong dan runcit.\n\u201cSumber utama FDI adalah dari Singapura, Belanda dan AS. Sementara itu, Pelaburan Langsung di Luar Negeri (DIA) berubah arah kepada aliran masuk bersih RM4.7 bilion daripada aliran keluar bersih RM4.0 bilion pada suku sebelumnya.\n\u201cIni disebabkan oleh pengurangan ekuiti dan pinjaman diterima daripada luar negara. Sektor utama yang menyumbang kepada aliran masuk adalah aktiviti Kewangan, dan Perlombongan,\u201d jelas kenyataan itu yang turut memaklumkan bahawa tiga negara utama yang menyumbang aliran masuk DIA adalah Mauritius, Switzerland dan Austria.\nMengulas lanjut mengenai pelaburan terkumpul, Dato\u2019 Sri Dr.\u00a0Mohd.\u00a0Uzir Mahidin berkata kedudukan FDI meningkat sebanyak RM39.3 bilion kepada RM769.6 bilion pada akhir suku ketiga 2021, manakala kedudukan DIA adalah RM543.9 bilion.\nKatanya, kedudukan Pelaburan Antarabangsa (IIP) Malaysia juga terus mencatatkan aset bersih sebanyak RM68.1 bilion sementara rizab antarabangsa Malaysia pula meningkat kepada RM482.5 bilion daripada RM461.5 bilion pada akhir suku sebelumnya." "KDNK Malaysia Menguncup 4.5 Peratus pada Suku Ketiga 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Jabatan Perangkaan Malaysia semalam mengumumkan bahawa Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia yang merupakan petunjuk prestasi keseluruhan ekonomi negara menguncup 4.5 peratus pada suku ketiga tahun ini.\nDi samping itu, pelarasan musim dari suku tahun ke suku tahun KDNK bagi suku ketiga tahun ini juga mencatatkan penyusutan 3.6 peratus berbanding dengan penurunan 1.9 peratus pada suku kedua 2021.\nWalau bagaimanapun, prestasi ekonomi bulanan negara direkodkan semakin pulih daripada kejatuhan 7.6 peratus pada Julai kepada penyusutan 4.7 peratus pada Ogos dan -1.1 peratus pada September 2021.\nMenurut Jabatan Perangkaan Malaysia, setakat tiga suku pertama tahun ini, kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah sebanyak tiga peratus.\nDato\u2019 Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia berkata prestasi ekonomi pada suku tahun ketiga 2021 dari segi penawaran dipengaruhi oleh kemerosotan dalam semua sektor utama ekonomi, terutamanya sektor Pembuatan dan Perkhidmatan.\nDari sudut permintaan, semua komponen perbelanjaan mencatatkan prestasi negatif kecuali perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan.\n\u201cDari segi prestasi sektor, sektor Perkhidmatan yang merupakan penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia menyusut 4.9 peratus pada suku tahun ketiga 2021 berbanding dengan pertumbuhan positif 13.5 peratus pada suku tahun sebelumnya.\n\u201cPrestasi ini dipengaruhi oleh subsektor Perkhidmatan swasta yang merekodkan kejatuhan 6.8\u00a0 berbanding dengan suku sebelumnya, disebabkan oleh Perdagangan borong dan runcit yang merekodkan penurunan dua digit, iaitu 11.7 peratus diikuti subsektor Perkhidmatan perniagaan (-15.8 peratus) dan Makanan dan Minuman dan Penginapan (-16.5 peratus).\nTambahan pula, subsektor Kewangan dan insurans meningkat sederhana 4.4 peratus, disumbangkan oleh segmen kewangan, manakala segmen insurans kekal dengan pertumbuhan yang memberangsangkan.\nSubsektor Maklumat dan Komunikasi berkembang 6.2 peratus berbanding dengan 5.9 peratus pada suku tahun kedua 2021, disokong prestasi lebih baik dalam segmen telekomunikasi.\nBagi pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, keseluruhan sektor Perkhidmatan telah menyusut 3.1 peratus berbanding dengan penurunan 3.2 pada suku kedua tahun ini.\nSementara itu, sektor lain yang turut merekodkan penyusutan pada suku ketiga tahun ini ialah pembuatan yang menurun secara marginal, iaitu 0.8 peratus, Pertanian (1.9 peratus), Perlombongan dan Pengkuarian (3.6 peratus) dan Pembinaan (20.6 peratus)." "Datuk Mohd. Nizom, Pengerusi CATA 2021\u20132024\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013\u00a0Berkuatkuasa pada 12 November 2021, YBhg. Datuk Mohd. Nizom Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dilantik secara rasminya sebagai Pengerusi Pertubuhan Pentadbir Cukai Negara-Negara Komanwel (CATA) bagi penggal 2021\u20132024.\nMalaysia dilihat mampu membawa pertubuhan ini ke fasa seterusnya dalam menangani isu percukaian antarabangsa yang kian mendapat perhatian pada peringkat global. Pelantikan ini turut mengiktiraf suara Malaysia di persada dunia.\nCATA merupakan pertubuhan percukaian antarabangsa yang dianggotai oleh pentadbir cukai dari 47 buah negara-negara\u00a0Komanwel, yakni satu pertubuhan percukaian yang terbesar di dunia mengikut bilangan keahlian pentadbir cukai. Objektif utama CATA adalah untuk membantu negara anggota untuk mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pentadbiran percukaian.\nSehingga kini, CATA masih memainkan peranan penting dalam mempromosikan pemodenan pentadbiran percukaian dan penggunaan polisi, proses dan prosedur kerja yang efisien dalam kalangan negara-negara\u00a0Komanwel,\u00a0terutamanya kepada negara yang sedang membangun. Malaysia merupakan pengerusi ke-15\u00a0CATA sejak penubuhannya pada 1979.\nDalam kenyataan HASiL pada hari ini mengatakan bahawa pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan negara-negara anggota kepada Malaysia, dan HASiL secara khusus, atas segala sumbangan terhadap perkembangan dan pemodenan sistem percukaian pada masa ini." "Belanjawan 2022: Dilema Tuntutan Pengeluaran KWSP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTanggal 29 Oktober 2021 menyaksikan pembentangan Belanjawan 2022 dengan peruntukan sebanyak RM332.1 bilion oleh Menteri Kewangan YBM Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen. Dengan bertemakan \u201cKeluarga Malaysia, Makmur Sejahtera\u201d, belanjawan pada kali ini memberikan fokus kepada tiga matlamat utama, iaitu Rakyat yang Sejahtera; Peniagaan yang Berdaya Tahan; serta Ekonomi yang Makmur dan Mampan.\nBerdasarkan inti pati Belanjawan 2022, jelas bahawa strategi dan inisiatif yang dibentangkan adalah berpaksikan usaha untuk memastikan kejayaan pemulihan negara yang terkesan akibat pandemik COVID-19 sejak tahun 2020. Dari pemerhatian sebagai seorang rakyat biasa, pembentangan belanjawan pada tahun ini adalah memuaskan secara keseluruhannya \u2013 walaupun tidak sempurna. Dengan sektor pendidikan dan kesihatan sebagai penerima terbesar bagi peruntukan pada kali ini, jelas sejajar dengan keperluan situasi negara dalam mendepani cabaran transisi pandemik-endemik COVID-19.\nSecara lumrahnya, amat sukar untuk memenuhi tuntutan setiap pihak dalam melaksanakan sesuatu perkara kerana setiap individu mempunyai sisi pandang yang berbeza dalam melihat dan menilai sesuatu isu. Jika ditanya kepada sesetengah golongan, mereka meluahkan kekecewaan apabila tuntutan bagi pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10 000 tidak dibentangkan dalam Belanjawan 2022.\nSecara peribadi, keputusan kerajaan untuk tidak memasukkan isu ini dalam Belanjawan 2022 merupakan tindakan yang tepat. Perlu diingatkan bahawa sejak bermulanya pandemik COVID-19 pada tahun 2020, beberapa siri pengeluaran khas KWSP telah pun dilancarkan bagi meringankan beban kewangan rakyat \u2013 antaranya i-Lestari, i-Sinar, dan i-Citra. Keputusan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah bagi kerajaan, kerana kerajaan perlu mengimbangi antara keperluan semasa dengan keperluan pada masa hadapan. Bahkan, kerajaan juga perlu mempertimbangkan jangkaan pulangan yang wajar kepada golongan pencarum yang tidak melakukan pengeluaran menerusi sirikhas tersebut.\nTerdapat beberapa faktor yang mendorong keputusan untuk tidak melancarkan satu lagi pengeluaran khas KWSP. Faktor pertama ialah dari segi pengurusan dan kelestarian KWSP itu sendiri. Berdasarkan siri pengeluaran khas terdahulu, sebanyak RM101 bilion telah dikeluarkan oleh 7.4 juta ahli KWSP. Ini merupakan suatu jumlah besar yang mempunyai kesan signifikan terhadap rangka kerja pelaburan KWSP, terutamanya jika dilihat dari sudut jangka masa panjang. Pengeluaran simpanan dalam skala yang besar memberikan impak kepada dana pelaburan KWSP, berkemungkinan tinggi melibatkan pelbagai kos lepas terutamanya dalam pelaburan pasaran antarabangsa.\nFaktor kedua melibatkan jaminan keperluan masa hadapan ahli KWSP itu sendiri. Matlamat asal caruman KWSP adalah untuk memastikan bahawa individu mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi. Walaupun tanpa sebarang pengeluaran khas, jumlah simpanan itu sendiri secara amnya mungkin masih tidak mencukupi dan berada di bawah tahap keperluan, apatah lagi jika pengeluaran berterusan dan berkala dibenarkan untuk para pencarum.\nDalam situasi negara dijangka bertukar daripada status negara menua ke negara tua bermula tahun 2020 hingga 2044, simpanan persaraan merupakan satu daripada aspek yang sangat perlu dititikberatkan sejak awal lagi. Sebelum ini, Bank Dunia melaporkan bahawa 75 peratus daripada pencarum KWSP yang berusia 54 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM250 000. Situasi ini lebih meruncing apabila siri pengeluaran khas ekoran pandemik ini menyaksikan sebanyak 6.1 juta orang ahli kini mempunyai kurang daripada RM10 000 sebagai simpanan persaraan KWSP. Sementara itu, sebanyak 3.6 juta daripada mereka hanya mempunyai kurang daripada RM1000 di dalam akaun KWSP masing-masing.\nBerdasarkan statistik yang dikemukakan, jelas kerajaan telah meneliti isu ini secara tuntas sebelum mengambil langkah untuk tidak memasukkan tuntutan pengeluaran khas ini dalam pembentangan Belanjawan 2022. Tambahan pula, pembukaan semula sektor ekonomi dilihat dapat membantu rakyat untuk kembali bangkit secara beransur-ansur bagi memperbaik kedudukan ekonomi dan kewangan masing-masing. Manakala, pembukaan sektor ekonomi juga memberikan ruang kepada KWSP untuk memfokuskan inisiatif pemulihan dan pembinaan semula simpanan persaraan ahli susulan pengeluaran khas i-Lestari, i-Sinar, dan i-Citra sebelum ini.\nKesimpulannya, semua pihak perlu memahami pengumuman pengeluaran khas KWSP yang tidak dibentangkan dalam Belanjawan 2022 baru-baru ini. Pastinya, hal tersebut bukanlah keputusan yang mudah oleh kerajaan dalam menangani dilema antara kehendak dengan keperluan. Semoga pembukaan semula sektor ekonomi kembali merancakkan ekonomi negara dan rakyat, dengan disokong oleh strategi dan inisiatif kerajaan bagi merealisasi matlamat negara\u2013\u201cKeluarga Malaysia, Makmur Sejahtera\u201d." "Cendawan Kukur Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBeseri \u2013 Lebih ramai petani tempatan diharapkan dapat mengusahakan tanaman komersial secara kecil-kecilan sebagai punca pendapatan utama. Mereka perlu diberikan pendedahan secukupnya tentang kaedah dan teknik pertanian secara moden untuk menjamin hasil dan pendapatan yang munasabah. Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenaan berangkat melawat cendawan kukur di Beseri bersempena dengan program MAIPs Peduli.\nBaginda tidak melepaskan peluang untuk merasai sendiri pengalaman memetik cendawan selepas dipersembahkan taklimat tentang teknik tisu kultur untuk penghasilan benih cendawan pelbagai spesies oleh pengusahanya, Encik Mohd Amin Zainal Abidin dan isterinya, Puan Siti Aminah Mohd Hassan. Encik Mohd Amin berkata keberangkatan Tuanku Raja Muda yang prihatin dengan pembangunan negeri telah memberikan insprirasi kepada rakyat untuk menceburi industri penanaman cendawan. Menurut beliau, sejak memulakan operasi secara kecil-kecilan sejak tahun 2018, mereka telah berjaya menghasilkan lapan jenis benih cendawan lain, iaitu Tiram Kelabu, Tiram Putih, Tiram Sado, Tiram Pink, Tiram Kuning, Telinga Kera (Black Jelly), Melati dan Ganoderma.\nPada tahun 2020, mereka telah mendapat \u201cBantuan Ekonomi Tambahan\u201c (AET) daripada pihak RISDA, Perlis. Antara produk lain yang dihasilkan ialah cendawan segar, kit DIY cendawan, benih cendawan, bongkah cendawan matang, kursus kultur tisu, penghasilan benih cendawan, kursus penanaman cendawan pelbagai spesies, peralatan penanaman cendawan dan khidmat konsultansi. Pengarah RISDA Perlis, Encik Nor Afzami Isa turut hadir memeriahkan majlis." "Bantuan Fitrah MAIPs Meringankan Kesusahan Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Amalan menabung dan pelaburan telah dilihat menjadi satu inisiatif yang boleh membantu masyarakat di saat dunia masih bergelut dengan krisis COVID-19. Menurut Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, ramai rakyat terpaksa mengeluarkan duit simpanan kerana mahu meneruskan kelangsungan kehidupan dan mahu menjadikan modal untuk menjana pendapatan.\nRata-rata penduduk terjejas sumber pendapatan dan kehilangan pekerjaan akibat penularan wabak COVID-19 yang kini telah mengakibatkan kematian lebih 28 000 kematian di Malaysia.\u201c\n\u201cSehubungan dengan itu, banyak inisiatif dan bantuan telah disalurkan oleh pelbagai agensi seperti Majlis Agama Islam Negeri dan pihak lain untuk membantu meringankan bebanan kewangan yang dihadapi oleh masyarakat.\u201c\n\u201cSebagai contoh, peningkatan pengeluaran portfolio simpanan dan pelaburan sepanjang tempoh pandemik ini juga telah membuktikan kepentingan menabung kerana boleh membantu di saat mengalami kesukaran.\nDemikian titah Tuanku Raja Muda selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sempena program berbasikal MAIPs Peduli Khas COVID-19 di Guar Sanji, Arau.\nAntara penerima Bantuan Fitrah MAIPs yang sempat disantuni oleh Tuanku Raja Muda pada kayuhan kali ini ialah Mohd Saad Ali dan Aishah Abdullah. Mereka tidak dapat bekerja kerana sakit. Mereka tinggal bersama-sama dengan keluarga dan menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700 beserta kit MAIPs Peduli yang berisi makanan asas dan beras fidyah." "Akses ke Akaun Bank Pembayar Cukai Ada Batasnya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) menjelaskan bahawa peruntukan baharu S106A Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 yang telah diluluskan dalam Rang Undang-undang Kewangan 2021 pada 15 Disember lalu yang telah memberikan kebenaran kepada HASiL untuk mendapatkan maklumat akaun bank pembayar hanya bagi kes yang melibatkan perintah garnisi yang dikeluarkan oleh pihak mahkamah.\nProsiding garnisi merupakan proses untuk menguatkuasakan penghakiman wang dengan menyita atau menahan hutang yang perlu dibayar kepada mana-mana pihak seperti adanya tunggakan cukai yang belum dijelaskan oleh pembayar cukai. Pengenalan peruntukan baharu ini akan membantu pihak HASiL mentadbir sistem cukai langsung negara dengan lebih efektif yang boleh meminimumkan ketirisan cukai disebabkan oleh kegagalan pembayar cukai melangsaikan cukai mereka dan meningkatkan kadar pematuhan cukai sukarela dalam kalangan pembayar cukai.\nWalau bagaimanapun, kuasa yang diberikan dalam peruntukan baharu ini tidak memberikan kuasa mutlak kepada HASiL untuk mengakses akaun bank pembayar cukai dengan sewenang-wenangnya. Proses itu melalui peringkat kehakiman dan hanya terhad kepada kes yang sudah melalui prosiding sivil terlebih dahulu. Bagi pembayar cukai yang sedia menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik, peruntukan itu tidak sepatutnya menimbulkan keresahan kerana perkara tersebut tidak terpakai kepada mereka.\nPeruntukan baharu S106A ACP 1967 ini hanya memberikan kuasa kepada HASiL untuk mendapatkan maklumat akaun bank pembayar cukai setelah tindakan garnisi diluluskan oleh mahkamah. HASiL menegaskan bahawa maklumat akaun bank pembayar cukai sedia ada yang tidak melibatkan tindakan garnisi tidak rapat diakses oleh \u00c2\u00a0pihak HASiL melalui peruntukan baharu ini." "Kumpulan Alibaba Umum Matlamat Keneutralan Karbon Menjelang Tahun 2030\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKumpulan Alibaba hari ini menyempurnakan Hari Pelabur 2021 yang dianjurkan secara maya. \u00a0Daniel Zhang, Pengerusi dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Alibaba, mengulangi kenyataan berkaitan dengan tumpuan syarikat terhadap tiga jentera strategik utamanya, iaitu penggunaan China, globalisasi dan teknologi untuk memacu pertumbuhan masa depan.\n\u201cVisi kami untuk masa depan kekal tidak berubah. Kami percaya bahawa kami sedang berada dalam waktu pertumbuhan yang terbaik, pada era digital hari ini, untuk merebut peluang masa depan dengan keupayaan digital dan teknologi yang telah kami bina sejak bertahun-tahun,\u201d kata Zhang pada acara pelabur tersebut.\nMelabur untuk Pertumbuhan Jangka Panjang, Ketelusan Lebih Tinggi\nKetua Pegawai Kewangan, Kumpulan Alibaba, Maggie Wu berkongsi tentang strategi pelbagai jentera syarikat yang menyumbang kepada aliran hasil yang lebih pelbagai.\n\u201cKami sentiasa memberikan tumpuan pada usaha melakukan inovasi dan melabur untuk jangka panjang. Sejak kebelakangan ini, kami telah mewujudkan banyak perniagaan yang kukuh dan menguntungkan, seperti Taobao, Tmall dan Alibaba Cloud. Demikian juga, kami telah melabur dalam perniagaan baharu dan pantas berkembang yang berpotensi dalam beberapa tahun kebelakangan ini,\u201d jelas Wu.\nTatkala syarikat terus membina pendekatan pelbagai jentera untuk memacu pertumbuhan masa depan, Wu menyatakan bahawa syarikat akan menyediakan laporan kewangan lebih terperinci bagi segmen perdagangan terasnya, sekali gus mencerminkan bagaimana ia mengurus semua perniagaan ini.\n\u201cKami sentiasa percaya terhadap tindakan menyediakan lebih ketelusan dalam pelaporan dan penzahiran kami untuk membolehkan para pemegang saham memahami dengan lebih baik prestasi perniagaan dan kewangan kami,\u201d tambah Wu. Segmen Perdagangan akan dibahagikan lagi kepada empat segmen: Perdagangan China, Perdagangan Antarabangsa, Khidmat Pengguna Tempatan dan Cainiao.\nTimbalan Ketua Pegawai Kewangan, Toby Xu bercakap tentang strategi pelaburan Alibaba, yang menentukan keutamaan menerusi sebuah rangka kerja pertumbuhan \u2013 daripada benih kepada tarikan hinggalah peringkat keuntungan. Wu dan Xu menyampaikan pembentangan, yang menunjukkan peralihan yang lancar tentang peranan Ketua Pegawai Kewangan syarikat yang akan berkuat kuasa pada bulan April.\n\u201cKami kekal sangat komited terhadap pelaburan untuk masa depan, dan kami akan melaksanakannya dengan tahap disiplin yang tinggi. Pelaburan kami akan memberikan tumpuan pada pembinaan keupayaan dan penciptaan nilai. Pada masa lalu, kami telah banyak kali menghadapi dan mengatasi cabaran besar. Pada hari ini, kami tetap yakin bahawa kami akan berjaya dalam menjana pertumbuhan yang mampan dan tahan lama dengan mengambil perspektif jangka panjang ketika menangani isu-isu semasa secara pragmatik,\u201d ujar Xu.\nIkrar Keneutralan Karbon\nAlibaba juga mengumumkan ikrarnya untuk mencapai keneutralan karbon pada tahun 2030 dan menerbitkan Laporan Tindakan Keneutralan Karbon Alibaba yang pertama. Alibaba akan bekerjasama dengan peniaga dan pengguna untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 1.5 gigaton di seluruh ekosistemnya menjelang tahun 2035. Untuk mencapai sasaran yang tinggi ini, Alibababa berusaha melebihi amalan industri standardnya yang hanya mengurangkan jejak karbon operasinya dan memperkenalkan\u00a0 dimensi baharu kepada tanggungjawabnya yang dipanggil \u00a0\u201cSkope 3+\u201c.\n\u00a0\n\n\nAlibaba berikrar untuk memanfaatkan teknologi dan peranannya sebagai sebuah platform untuk menggembleng tindakan dalam kalangan pengguna, peniaga dan rakan kongsinya untuk membina masa depan yang lebih lestari." "PABM 2021 Diungguli oleh Peserta Wanita\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJOHOR BAHRU \u2013 Ternyata pada malam tadi, kesemua juara bagi setiap kategori pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2021 (PABM) didominasi oleh peserta wanita.\nJuara bagi Kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia, dimenangi oleh Puan Aminata Koutoub Sano dari negara Guinea, yang mewakili\u00a0 Universiti Islam Antarabangsa. Juara bagi Kategori Antarabangsa pula dimenangi oleh Puan Nargiza Ortikova Amirdin Qizi dari Uzbekistan, yang mewakili Universiti State University of World Languages dan juara Kategori Alam Melayu dimenangi oleh Puan Siti Nur Shafika Md. Fakharuzi dari Malaysia, yang mewakili Institut Pendidikan Guru Malaysia.\nSeorang juara yang sempat ditemu bual berkaitan dengan penguasaan bahasa, iaitu Puan Aminata Koutoub Sano, beliau amat tertarik dan mudah jatuh cinta apabila mendengar pertuturan dalam bahasa Melayu yang didengarinya dalam kalangan rakan-rakan sepengajiannya.\n\u00a0\n\u00a0\nDalam hati saya tertanya-tanya, mengapakah saya terlalu cinta akan bahasa ini? Memang tiada ungkapan lain selain saya memang tertarik dengan bahasa ini secara perlahan-lahan.\nMenerusi rakan-rakannya itu juga, beliau mempelajari bahasa Melayu dan sempat juga belajar tentang perkataan \u201cmakan\u201d dan terus jatuh cinta untuk merasai masakan \u201cayam gepuk\u201d di negara ini. Beliau juga tidak lupa untuk membawa dan menyebarkan bahasa Melayu apabila pulang ke negara asalnya kelak.\nSeorang lagi juara Kategori Alam Melayu, Puan Siti Nur Shafika Md. Fakharuzi menerusi tajuk pidatonya, \u201cSimbiosis Dunia yang Ditangis\u201c, memberitahu bahawa beliau menggunakan pengalaman kehilangan ahli keluarga tersayang kerana COVID-19 bagi menzahirkan rasa hatinya yang dirundung kesedihan. Baginya, PABM 2021 mampu menyebarkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan peserta antarabangsa. Beliau yakin bahasa Melayu mudah diterima oleh masyarakat antarabangsa menerusi pertandingan seumpama ini.\nPABM 2021 mengumpulkan 78 peserta dari 36 buah negara melalui tiga kategori yang dipertandingkan, iaitu Pelajar Antarabangsa, Pelajar Alam Melayu dan Pelajar Antarabangsa yang menetap di Malaysia.\nTernyata PABM 2021 berjaya mencapai objektifnya untuk memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat nasional dan antarabangsa, di samping membina jaringan perhubungan antara negara peserta.\nPABM 2021 pada kali ini yang berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga selaras dengan kebiasaan baharu yang menampilkan kelainan apabila pemilihan peserta bagi pusingan awal dan akhir bagi kategori Antarabangsa dan Alam Melayu dijana secara dalam talian. Kemudian, mereka yang berjaya barulah dibawa ke UTM secara fizikal untuk sesi pertandingan pada peringkat Suku Akhir, Separuh Akhir dan seterusnya Malam Kemuncak.\nSebanyak sembilan orang peserta akhir berentap pada Malam Kemuncak melalui kategori masing-masing, iaitu tiga orang peserta akhir bagi setiap kategori dan turut disiarkan dalam platform media sosial DBP secara langsung.\nJohan membawa pulang Piala Pusingan, Piala Perdana Menteri, piala iringan dan wang tunai RM10 000. Naib Johan pula membawa pulang piala iringan dan wang tunai RM8000, serta pemenang tempat ketiga menerima piala iringan dan wang tunai sebanyak RM5000, dan keempat menerima piala iringan dan wang tunai sebanyak RM4000.\nPenganjuran PABM 2021 pada kali ini turut membuktikan bahawa mahasiswa yang terbaik bukan sahaja cemerlang dari segi akademiknya malah dari segala sudut kehidupan termasuklah kemahiran bahasanya walaupun bukan penutur jati." "Elakkan Pertelingkahan dalam Jual Beli\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTransaksi jual beli telah lama kita amalkan sama ada melalui pertukaran mata wang atau pertukaran barangan. Segenap lapisan masyarakat akan terdedah dengan transaksi jual beli sama ada peniaga, usahawan mahupun pembeli atau pengguna. Sewajarnya kita memahami dan peka terhadap akad (kontrak) jual beli asas. Apabila isu \u201cIkan Siakap Pulau Langkawi\u201c tular, kisah tersebut membuktikan bahawa masyarakat kita sebenarnya tidak arif dengan rukun jual beli. Apabila rukun jual beli tidak dipenuhi, maka\u00a0 pertelingkahan dan ketidakpuasan hati antara pihak yang berakad akan wujud. Sewajarnya, kita wajib memahami dan peka dengan konsep dan rukun jual beli. Hal ini demikian kerana hampir setiap hari atau setiap minggu kita akan terlibat dengan jual beli!\nRukun Jual beli Sebagai Asas Transaksi\nKita sedia maklum, jual beli merupakan satu akad. Setiap kontrak sudah tentu mempunyai rukun-rukun tersendiri supaya kontrak ini wujud. Rukun-rukun ini pula sudah tentu mempunyai syarat-syarat tersendiri supaya ia diterima sebagai sah dan seterusnya memberikan implikasi tertentu iaitu beberapa hukum yang ditetapkan oleh Allah Taala. Rukun jual beli yang terdiri dari penjual/pembeli (\u2018aqidan), sighah (ijab dan qabul) dan ma\u2019qud \u2018alai (barang dan harga).\nRukun pertama: Penjual dan Pembeli\nUrusan jual beli perlu dilakukan oleh seseorang yang waras (baligh, berakal dan boleh menguruskan harta dengan baik). Oleh itu transaksi daripada kanak-kanak dan orang gila adalah tidak sah. Penjual dan pembeli juga perlu bersetuju dengan transaksi tanpa paksaan.\nRukun kedua: Sighah\nSighah adalah kaedah menunjukkan kerelaan penawaran barang dari penjual (ijab) dan kesediaan pembeli untuk menerima barang yang hendak dibeli (qabul). Sighah ditunjukkan melalui tindakan kedua-dua pihak menunjukkan mereka bersetuju dalam urusan jual beli tersebut. Persetujuan dan kerelaan adalah syarat sah kontrak jual beli sebagaimana dinyatakan sebelum ini. Terdapat dua bentuk sihgah, iaitu secara sorih (jelas) dengan lafaz seperti penjual menyebut: \u201cSaya jual ye\u201d dan pembeli menjawab: \u201cSaya beli\u201d atau secara kinayah dengan isyarat atau hulur menghulur.\nRukun ketiga: Barang dan Harga\nDalam kontrak jual beli, subjek kontrak merujuk kepada barangan yang dijual dan harga. Kedua-dua perkara ini perlu memenuhi beberapa syarat. Barang yang hendak dijual beli itu perlu wujud semasa kontrak, bernilai, bermanfaat menurut syarak, boleh diserahkan dan dalam pengetahuan kedua pihak. Ini bererti barang yang tidak wujud semasa akad seperti anak kambing dalam perut, yang haram seperti babi dan arak dan barang yang tidak dimaklumi dengan jelas spesifikasi barang dan harga antara kedua-dua belah pihak tidak sah dijual beli.\nKhiyar yang dipinggirkan\nKeharmonian muamalat dalam Islam bukan sekadar dalam rukun jual beli semata. Terdapat khiyar atau pilihan dalam menyempurnakan akad jual beli dalam Islam. Ini menunjukkan syariat Islam masih memberikan ruang untuk pihak yang berkontrak kerana terdapat kemungkinan sesuatu kontrak itu dilakukan secara gopoh tanpa membuat penelitian mendalam. Tujuan utama kyiar memastikan adanya kerelaan hati kedua pihak untuk menerus atau membatalkan akad dan menjaga kepentingan pihak-pihak yang berakad. Secara umumnya ulama telah membahagikan khiyar ini kepada 3 jenis utama, iaitu Khiyar al-Majlis, Khiyar al-Syarat dan Khiyar al-Aib.\nKhiyar al-majlis merujuk kepada hak pilihan ketika dalam majlis. Ini dimaksudkan dengan hak bagi kedua belah pihak, antara penjual dengan pembeli untuk melangsungkan jual beli atau membatalkannya selama masih berada di tempat (majlis) jual beli itu. Manakala khiyar syarat merupakan suatu pilihan yang telah ditetapkan syarat dalam sesuatu kontrak. Ia memberikan hak kepada salah satu, atau kedua-duanya atau kepada pihak ketiga untuk mengesahkan atau membatalkan sesuatu kontrak dalam sesuatu tempoh masa. Selain itu, khiyar aib ialah hak untuk membatalkan atau meneruskan jual beli barang yang mengalami kecacatan atau kerosakan, maka penjual berhak mengembalikan wang yang diberi oleh pembeli tersebut. Dalam jual beli, Islam mensyaratkan kesempurnaan dalam amalan perniagaan dan melarang berjual beli dengan amalan yang salah yakni batil. Para fuqaha menitikberatkan keharusan khiyar aib ini bagi memastikan keselamatan sesuatu barangan yang menjadi subjek kontrak daripada sebarang kecacatan.\nIsu Jual beli Dalam Talian\nJual beli dalam talian terdedah kepada penipuan terutama berkaitan penjualan produk yang tidak wujud atau menipu dalam promosi. Berdasarkan maklumat terkini didedahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, sebanyak 5848 kes penipuan e-dagang dilaporkan sepanjang tahun lalu di seluruh negara membabitkan kerugian kepada mangsa lebih RM41 juta. Jumlah kes jenayah ini meningkat hampir 80% berbanding 3511 kes direkodkan sepanjang tahun 2019 dengan kerugian sebanyak RM28 juta.\nBagi mengelakkan penipu (scammers) dan memastikan jual beli dalam talian sah serta mendapat barakah, perlu dipastikan syarat-syarat asas jual beli dipatuhi:\nIsu Jual beli \u201cIkan Siakap Pulau Langkawi\u201c\nFaktor utama berlaku perkelahian atau ketidakpuasan hati antara pembeli dengan penjual adalah disebabkan ketidakpatuhan rukun akad jual beli. Ketidakpatuhan sighah (kaedah persetujuan tawar dan penerimaan barang) atau ketidakpatuhan syarat ma\u2019qud alaih (ketidakjelasan spesifikasi barang dan harga jualan) biasa berlaku dalam transaksi harian masyarakat kita.\nPenjual dan pembeli (\u2018akidan) dalam majlis akad sepatutnya jelas tentang spesifikasi barang yang dipilih untuk dibeli sekiranya pembelian barang berdasarkan katalog harga. Ini kerana harga dan gambar (barang) yang dimasukkan dalam katalog mungkin berbeza saiz dan berat dengan barang yang dipilih pembeli.\nDalam kes pembelian ikan pelihara di restoran sebagaimana kes ikan siakap tersebut sepatutnya pihak pembeli jelas tentang pilihan ikan, saiz dan berat berserta dengan harga. Penjual juga perlu menjelaskan harga bagi ikan yang telah dipilih. Persetujuan bersama (sighah) antara penjual dengan pembeli disepakati dalam membuat akad. Keadaan ini tidak boleh dipandang ringan kerana sighah adalah salah satu rukun dalam jual beli. Di samping itu,\u00a0 pembeli atau pelanggan masih mempunyai hak khiyar sekiranya mendapati ikan tersebut tidak seperti yang diminta sama ada jenis, saiz atau menu masakan. Keadaan ini mungkin berlaku disebabkan tertukar hidangan dengan pelanggan lain atau tersilap semasa memasak. Justeru itu, pelanggan berhak untuk tidak meneruskan akad atau meminta tukar kepada ikan yang sepatutnya.\nJiwa tenang hidup berkat\nPenjualan produk haram, penipuan jual beli, promosi yang tidak jujur, scammers dan ketidakpuasan pelanggan adalah antara masalah biasa yang dihadapi dalam masyarakat kita. Kefahaman konsep jual beli dan istiqamah dalam pegangan rukun dan syarat jual beli boleh mengelakkan perkara-perkara tersebut berleluasa.\nPenjual dan pembeli merupakan pemain utama dalam memastikan akad ini termeterai dengan sempurna dan harmoni. Kita juga akan sentiasa berhati-hati dalam setiap transaksi yang kita jalankan dan ini sekali gus boleh mengelakkan perkelahian antara penjual dengan pembeli serta boleh menyelamatkan diri dari terperangkap dengan penipu (scammers).\nFirman Allah SWT:\n\u06cc\u064e\u0640\u0670\u06e4\u0623\u064e\u06cc\u0651\u064f\u0647\u064e\u0627 \u0671\u0644\u0651\u064e\u0630\u0650\u06cc\u0646\u064e \u0621\u064e\u0627\u0645\u064e\u0646\u064f\u0648\u0627\u06df \u0644\u064e\u0627 \u062a\u064e\u0623\u06e1\u0643\u064f\u0644\u064f\u0648\u06e4\u0627\u06df \u0623\u064e\u0645\u06e1\u0648\u064e \u0670\u2060\u0644\u064e\u0643\u064f\u0645 \u0628\u064e\u06cc\u06e1\u0646\u064e\u0643\u064f\u0645 \u0628\u0650\u0671\u0644\u06e1\u0628\u064e\u0640\u0670\u0637\u0650\u0644\u0650 \u0625\u0650\u0644\u0651\u064e\u0627\u06e4 \u0623\u064e\u0646 \u062a\u064e\u0643\u064f\u0648\u0646\u064e \u062a\u0650\u062c\u064e\u0640\u0670\u0631\u064e\u0629\u064b \u0639\u064e\u0646 \u062a\u064e\u0631\u064e\u0627\u0636\u08f2 \u0645\u0651\u0650\u0646\u0643\u064f\u0645\u06e1\u06da\n\u201cWahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka antara kamu.\u201d\n(An\u2013Nisa\u2019 4: 29)" "Usahawan Wanita Penyumbang Ekonomi Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Pada masa ini, ramai golongan wanita cuba mengubah dan memperbaiki taraf kehidupan keluarga masing-masing dengan menceburi bidang perniagaan. Golongan usahawan wanita kini menjadi sumber\u00a0inspirasi untuk golongan wanita yang lain untuk bergelar usahawan. Mereka menjadi perangsang kepada wanita lain untuk menjana pendapatan, selain membentuk jati diri wanita yang mantap serta menjamin kehidupan wanita dengan adanya wang saku sendiri.\nDemikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat merasmikan perniagaan makanan dan minuman \u201cSelera Mak Lang Nasi Campur\u201c yang beroperasi di perkarangan Masjid Al-Barakah Kg Jelempok Arau yang diusahakan oleh Basah Mat Ali, 63 tahun sempena program \u201cMAIPs Peduli\u201c baru-baru ini.\nBasah pernah menerima sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui inisiatif Projek Peningkatan Sosioekonomi Asnaf MAIPs.\u00a0Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, kepesatan teknologi pada masa ini telah membuka banyak ruang dan kesedaran yang akhirnya menarik minat wanita untuk menceburkan diri dalam perniagaan seperti secara dalam talian bermula dengan menjadi agen produk, kemudian menyertai pelbagai program oleh kerajaan bagi menambah ilmu perniagaan. Wanita kini semakin \u201cberani\u201c tampil memajukan lagi perniagaan tanpa mengabaikan tugas hakiki sebagai ibu dan isteri.\nTambah Tuanku Raja Muda lagi, golongan wanita boleh meningkatkan pendapatan mereka secara tidak langsung melalui aktiviti perniagaan. Islam sememangnya memandang tinggi darjat wanita sehingga terdapat satu surah khusus dalam al-Quran yang menceritakan perihal golongan ini. Saidatina Khadijah, seorang usahawan wanita yang berjaya menambat hati Rasulullah SAW telah menjadi inspirasi dan bukti bahawa golongan hawa juga mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum Adam, khususnya dalam bidang perniagaan." "Coway Run 2021 Cipta Sejarah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCoway Run 2021: Run for Your Region\u00a0 mencipta sejarah apabila mereka dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Records bagi \u2018Bilangan Jualan Tiket Larian Maya Tertinggi Dalam Sehari\u2019. Hampir 10 000 tiket Coway Run 2021 habis dijual dalam masa 24 jam selepas dilancarkan dan menandakan detik kejayaan dalam sejarah Coway Run! Pencapaian ini terus mengukuhkan lagi kepentingan\u00a0Coway Run\u00a0kepada rakyat Malaysia, yang amat berminat untuk menyertai acara ini setiap tahun. Sama ada secara fizikal atau maya,\u00a0Coway Run\u00a0amat digemari oleh ramai pelari.\nDianjurkan oleh\u00a0Coway Malaysia,\u00a0Coway Run 2021\u00a0ialah\u00a0larian maya antara wilayah yang mempromosikan keseronokan, kehidupan yang sihat dan semangat kemasyarakatan. Larian ini, yang dilancarkan pada 23 September 2021, mendorong para peserta untuk berlari pada bila-bila masa dan di mana sahaja untuk mencatatkan kilometer tersebut. Didorong oleh sambutan luar biasa yang ditunjukkan oleh peserta, acara itu yang dirancang untuk diadakan selama sebulan telah dilanjutkan hingga 31 Oktober 2021.\nSelain berlari untuk kemasyhuran, pencapaian peribadi dan kepuasan diri, peserta juga berlari untuk tujuan amal. Apabila para peserta seluruh negara secara kolektif telah mencapai\u00a0National Goal sejauh 200 000 kilometer, sejumlah RM200 000.00\u00a0 disumbangkan\u00a0oleh Coway Malaysia kepada\u00a0tiga badan kebajikan. Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menerima sumbangan ialah\u00a0EcoKnights, MERCY Malaysia dan Reef Check Malaysia. Malah, pelari yang begitu bersemangat telah mengatasi\u00a0National Goal dengan mencatatkan jarak sejauh 244 672 kilometer, dengan pasukan wilayah Tengah muncul sebagai juara dengan jarak 103 496 kilometer." "Penangguhan Bayaran Cukai kepada Pembayar Cukai/Majikan yang Terjejas dengan Banjir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di Semenanjung baru-baru ini telah memberikan impak kepada pembayar cukai dan/atau majikan. Atas dasar keprihatinan Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASIL) kepada masyarakat, HASIL telah membuat keputusan untuk memberikan penangguhan bayaran cukai kepada pihak tersebut\u00a0 yang terjejas dengan banjir seperti yang berikut:\nPembayar cukai dan/atau majikan yang terjejas perlu mengemukakan permohonan penangguhan bayaran cukai kepada HASIL melalui e-mel [email\u00a0protected] (bagi Perkara 1.1) dan melalui Borang Maklum Balas yang boleh dicapai di portal rasmi HASIL atau melalui pautan https://borangmaklumbalas.hasil.gov.my/Submission/Submission/?id=5001#/create/1 (bagi Perkara 1.2, 1.3 dan 1.4).\nDokumen yang perlu dikemukakan bagi menyokong permohonan tersebut adalah berdasarkan kepada merit kes. Sebarang pertanyaan serta maklum balas boleh dimajukan kepada HASiL melalui:\n(a) HASIL Care line di talian 03-8911 1000/603-8911 1100 (luar negara)\n(b) HASIL Live Chat\n(c)Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM melalui pautan https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/" "Nombor Kad Pengenalan Cukai: Bagaimanakah Pelaksanaannya?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNombor pengenalan cukai atau Tax Identification Number\u00a0(TIN) ialah nombor cukai pendapatan yang digunakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) untuk mengenal pasti pembayar cukai. Setiap TIN adalah unik dan setiap pembayar cukai akan mempunyai TIN yang berbeza.\nMenurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh HASiL pada hari ini, cadangan melaksanakan TIN ini bukanlah baharu, sebaliknya dibentangkan dalam Belanjawan 2020, dan sepatutnya mula dilaksanakan pada bulan Januari 2021. Namun demikian, atas sebab-sebab tertentu seperti persediaan sistem dan prosedur berkaitan, maka pelaksanaannya ditangguhkan dan hanya akan mula dilaksanakan pada 1 Januari 2022 seperti yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2022.\nKepada siapakah TIN ini akan diberi? Berdasarkan penjelasan oleh HASiL dalam beberapa siri seminar percukaian pada bulan November 2021 yang lalu, TIN akan diberi kepada:\nBagaimanakah pula TIN ini akan diproses dan diberi kepada pihak atau individu berkenaan? Yang berikut merupakan kaedah pemprosesan TIN:\nBagi memudahkan orang ramai mengetahui dan merekodkan nombor TIN mereka, HASiL menyediakan lima kaedah penyemakan seperti yang berikut:\nSecara asasnya, mulai 1 Januari 2022 penggunaan TIN akan diwajibkan kepada pembayar cukai untuk urusan seperti yang berikut:\nUrusan yang melibatkan transaksi di bawah Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 (ACKHT 1976). Hal ini bermakna semua pihak yang melakukan pelupusan dan pemerolehan harta tanah atau syer syarikat harta tanah perlu mempunyai nombor TIN dalam borang nyata dan dokumen seperti yang berikut:\nUrusan penyeteman dokumen dan surat cara di bawah Akta Setem 1949 selaras dengan peruntukan seksyen 77C Akta Setem 1949 yang baharu diperkenalkan. Bagi pembayar duti yang masih belum mempunyai nombor TIN, mereka tidak perlu bimbang kerana urusan penyeteman masih boleh diteruskan. Dalam hal ini, sistem STAMPS akan membuat pendaftaran secara automatik nombor TIN mereka berdasarkan maklumat yang diisikan dalam sistem tersebut. Manakala, bagi pembayar duti yang telah mempunyai nombor TIN, tetapi tidak mengingati nombor berkenaan pula, sistem STAMPS akan memaparkan nombor TIN berkenaan selepas mereka mengisi nombor kad pengenalan atau nombor pendaftaran syarikat." "Keusahawanan Tonggak Ekonomi Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Seluruh negeri di negara ini memerlukan masyarakat yang proaktif, kreatif, inovatif, kompetitif dan berpandangan jauh untuk terus bersama-sama membangunkan Malaysia. Dalam menjayakan hasrat itu, budaya bekerja dalam organisasi dan gaya hidup masyarakat perlu dilonjakkan bagi memastikan negara kekal kompetitif dan berdaya saing melalui corak pemikiran yang lebih kreatif, inovatif dan di luar daripada kebiasaan.\nLebih penting, pembentukan masyarakat yang proaktif dan berfikiran keusahawanan merupakan asas untuk menjadikan negara kita sebagai sebuah negara keusahawanan unggul, maju dan disegani pada peringkat global.\nDemikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas baginda berkenan berangkat pada pagi ini untuk merasmikan gerai menjual roti jala dan murtabak Projek Peningkatan Sosioekonomi Asnaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diusahakan oleh Puan Wamala Hassan, berusia 64 tahun, dengan dibantu oleh dua orang anaknya, di gerai bernombor 13A Jalan Sekolah Derma. Dalam majlis tersebut, beliau turut menerima sumbangan berbentuk peralatan daripada pihak MAIPs untuk membantu perniagaannya agar dapat terus berkembang pada masa akan datang.\nTambah Raja Muda Perlis, masyarakat di negara ini\u00a0 disarankan untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara. Oleh itu, masyarakat perlu mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi yang inklusif, seimbang dan mapan. Hal ini sekali gus dapat membentuk sebuah masyarakat yang inovatif dan berbudaya keusahawanan terutamanya dalam kalangan generasi muda. Baginda juga meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat lebih ramai usahawan yang berkualiti, berdaya maju, berfikiran global dan kompetitif dalam kalangan generasi muda di Perlis. Tambah baginda lagi:\nPihak kerajaan dan masyarakat perlu berganding bahu dan\u00a0 berusaha untuk meningkatkan keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta koperasi selain memberikan dorongan kepada generasi muda untuk memilih keusahawanan sebagai kerjaya pilihan mereka." "Kerajaan Memperkenalkan Sijil Pematuhan Cukai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kerajaan\u00a0telah mencadangkan pengenalan Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate sebagai sebahagian daripada prasyarat untuk syarikat dan para pembekal yang ingin menyertai perolehan kerajaan bermula pada 1 Januari 2023 dalam pembentangan Bajet 2022. Hal ini bermakna, setiap pembekal atau syarikat yang ingin mendapatkan projek daripada kerajaan diwajibkan untuk memperolehi Sijil Pematuhan Cukai terlebih dahulu. Pembekal atau syarikat berkenaan berkemungkinan tidak akan berjaya mendapat projek tersebut tanpa sijil tersebut.\nSijil Pematuhan Cukai merupakan dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) sebagai bukti bahawa pembayar cukai telah memfailkan dan membayar semua cukai yang perlu dibayar dengan sewajarnya. Cadangan ini bukanlah satu amalan baharu tetapi sudah pun dipraktikkan secara meluas di negara lain di dunia seperti United Kingdom (UK), Ireland, Singapura, Fiji, Afrika Selatan dan sebagainya. Menurut laporan daripada Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), pelaksanaan Sijil Pematuhan Cukai telah berjaya meningkatkan tahap pematuhan cukai dalam kalangan pembayar cukai dan berkesan untuk mencegah ketirisan hasil cukai.\nLangkah ini juga dapat mendisiplinkan semua pembekal terutamanya syarikat yang ingin mendapatkan kontrak atau tender daripada kerajaan agar patuh kepada undang-undang percukaian. Selain itu, praktis ini juga mampu memperluas asas cukai pendapatan apabila setiap pembekal dan syarikat memastikan mereka mempunyai fail cukai dengan HASiL dan membuat pengisytiharan cukai pada setiap tahun serta melunaskan amaun cukai yang dikenakan kepada mereka.\nPelaksanaan Sijil Pematuhan Cukai ini akan mewajibkan semua pembekal atau syarikat untuk mempunyai nombor rujukan cukai pendapatan bagi mengakses sistem perolehan. Bagi pembekal yang tidak mempunyai nombor rujukan cukai pendapatan, mereka hendaklah membuat permohonan nombor berkenaan kepada HASiL terlebih dahulu. Permohonan nombor berkenaan boleh dibuat secara dalam talian melalui sistem e-Daftar di www.hasil.gov.my atau secara manual di mana-mana Kaunter Perkhidmatan Percukaian dan Pejabat Cawangan HASiL.\nTerdapat dua kriteria khusus yang diambil kira oleh HASiL dalam pengeluaran Sijil Pematuhan Cukai. Kriteria berkenaan adalah seperti yang berikut:\nDalam hal pematuhan bayaran cukai pendapatan, mana-mana pembekal atau syarikat yang telah diberikan kelulusan untuk pembayaran cukai secara ansuran turut akan dikategorikan sebagai pembayar cukai yang patuh dengan syarat mereka mestilah mematuhi jadual pembayaran ansuran yang telah ditetapkan oleh HASiL. Bagi pembekal atau syarikat yang tidak memenuhi kriteria pengeluaran Sijil Pematuhan Cukai yang ditetapkan oleh HASiL, mereka juga layak untuk memohon untuk mendapatkan sijil ini. Hal ini demikian kerana Kementerian Kewangan telah menetapkan bahawa bagi kes tidak patuh yang disebabkan oleh isu teknikal (rayuan), kes mahkamah dan sebab lain, Sijil Pematuhan Cukai boleh dikeluarkan berdasarkan merit kes dan juga tertakluk kepada kelulusan bersyarat oleh Kementerian Kewangan (MOF).\nSebagai usaha memudahkan urusan pengeluaran sijil ini, HASiL akan menyediakan sistem permohonan agar semua permohonan oleh pembekal dan syarikat boleh dibuat secara dalam talian mulai Januari 2023. Tempoh sah laku sijil ini pula ialah satu tahun, iaitu pembekal boleh menggunakan Sijil Pematuhan Cukai yang sama untuk membida kontrak dengan mana-mana agensi kerajaan dalam tempoh satu tahun sijil tersebut dikeluarkan. Setelah tempoh satu tahun tersebut tamat, pembekal atau syarikat boleh membuat permohonan Sijil Pematuhan Cukai yang baharu. Sehubungan dengan itu, setiap pembekal dan syarikat adalah disarankan agar memastikan urusan cukai pendapatan mereka ditadbir dengan sebaik mungkin supaya mereka tidak menghadapi masalah apabila cadangan ini mula dilaksanakan pada tahun 2023. Sebarang pertanyaan berkaitan dengan cadangan ini boleh diajukan kepada HASiL melalui:" "Pengurusan Cukai Pendapatan Bagi Pembayar Cukai yang Meninggal Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Cukai pendapatan individu merupakan salah satu instrumen penting dalam pembangunan negara kerana kerajaan akan menggunakannya untuk membiayai\u00a0 projek pembangunan dan meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan rakyat. Namun,\u00a0 bagaimana cukai pendapatan seseorang individu yang telah meninggal dunia diuruskan oleh HASiL? Adakah ia akan tetap dikutip atau dihapus kira sahaja? Sekiranya seseorang itu telah meninggal dunia maka para pewarisnya akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang komitmen kewangan si mati termasuklah pengurusan cukai si mati\u00a0 berdasarkan Seksyen 74 di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).\nMerujuk kepada seksyen ini, waris si mati boleh dikenakan taksiran seperti mana taksiran dikenakan atas si mati. Oleh yang demikian,\u00a0 pihak waris atau wasi haruslah cakna akan sebarang tunggakan atau lebihan cukai yang ada pada si mati. Pengetahuan pengurusan cukai si mati ini perlu difahami serta diuruskan dengan sebaiknya bagi memudahkan sebarang urusan kewangan si mati. Bagi individu yang sudah meninggal dunia, taksiran cukai akan dibuat untuk pendapatan yang diterima sehingga tarikh kematian individu tersebut dan taksiran ini akan dibuat atas nama waris yang sah.\nJusteru, apa-apa pendapatan yang diperoleh selepas tarikh kematian tidak akan dianggap pendapatan si mati. Semua pendapatan selepas tarikh kematian akan dianggap sebagai pendapatan harta pusaka individu si mati dan ditaksir atas nama waris sah atau pentadbir harta pusaka. Satu fail baharu akan didaftarkan untuk tujuan menaksir pendapatan harta pusaka si mati. Kadar cukai yang dikenakan terhadap pentadbir harta pusaka atau waris yang sah pula sama dengan kadar cukai yang dikenakan atas seseorang individu. Bagi memudahkan urusan pelaporan pendapatan si mati, waris atau pentadbir harta pusaka wajib melaporkan pendapatan harta pusaka si mati di bawah pentadbirannya dengan menggunakan Borang Nyata Cukai Pendapatan untuk harta pusaka iaitu Borang TP.\nApa yang akan berlaku sekiranya si mati mempunyai cukai tertunggak?\nCukai tertunggak wujud apabila baki cukai yang dikenakan gagal dibayar oleh pembayar cukai dalam tahun semasa sehingga melangkau ke tahun taksiran berikutnya. Dalam hal ini, cukai tertunggak wujud apabila si mati tidak melunaskan baki cukai beliau ketika hidupnya. Sekiranya keadaan ini berlaku, waris atau pentadbir harta pusaka si mati perlu bertanggungjawab untuk menyelesaikan tunggakan tersebut daripada harta pusaka si mati. Sebagai makluman, kuasa menuntut cukai tertunggak si mati daripada waris atau pentadbir harta pusaka telah diperuntukkan di bawah Seksyen 74 dan Seksyen 106 di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).\nSekiranya si mati masih lagi mempunyai cukai tertunggak, pihak HASiL boleh memungutnya daripada waris atau pentadbir harta pusaka si mati bagi tujuan kutipan cukai kepada kerajaan. Walau bagaimanapun, HASiL amat terbuka bagi sebarang proses rundingan jika waris atau pentadbir harta pusaka si mati tidak mampu untuk menyelesaikan baki cukai tersebut secara sekali gus. Mereka boleh memohon aturan bayaran secara ansuran tertakluk kepada kuasa budi bicara HASiL.\nBolehkah waris menuntut lebihan cukai yang telah dibayar oleh si mati?\nPersoalan ini juga banyak ditimbulkan oleh waris kerana sememangnya terdapat kes si mati telah membayar cukai lebih tinggi berbanding amaun cukai yang dikenakan terhadapnya. Sehubungan dengan itu, bagi waris yang menghadapi situasi ini, mereka boleh membuat tuntutan secara rasmi dengan pihak HASiL amaun lebihan kredit atau cukai terlebih bayar tersebut. Bagi memudahkan HASiL memproses permohonan ini, waris perlu mengemukakan beberapa dokumen penting yang berkaitan antaranya sijil kematian si mati dan salinan Surat Kuasa Mentadbir atau Geran Probet (Grant of Probate) yang diakui sah sama ada oleh Pesuruhjaya Sumpah, Majistret Mahkamah atau kakitangan kerajaan dalam kategori pengurusan dan profesional. Senarai lengkap dokumen yang perlu dikemukakan boleh diperolehi dengan merujuk Rangka Kerja Pungutan Cukai di portal rasmi HASiL di www.hasil.gov.my . Jika terdapat lebih dari satu pentadbir harta pusaka, bayaran balik akan dilakukan atas nama salah satu pentadbir sahaja.\nKesimpulannya, seseorang pembayar cukai yang meninggal dunia tetap mempunyai tanggungjawab untuk menjelaskan sebarang cukai tertunggak yang ada kerana dianggap sebagai hutang kepada Kerajaan. Pihak waris atau pentadbir harta pusaka si mati perlu melaksanakan tanggungjawab tersebut bagi pihak si mati. Sehubungan dengan itu, setiap waris disyorkan agar membuat semakan terlebih dahulu kedudukan cukai si mati dengan pihak HASiL bagi memastikan semua cukai si mati telah dilunaskan sekali gus menjamin kelancaran urusan pembahagian harta pusaka si mati dan sebarang tuntutan wajib yang lain." "Kriteria Siswazah dan Cabaran Pasaran Kerja\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini menganjurkan program \u201cUniMAP Entrepreneur & Career Talk 2022\u201d. Program tersebut telah dirasmikan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.\nDalam titah perasmian itu, baginda bertitah bahawa siswazah perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan persediaan yang mencukupi kerana pasaran kerja masa ini sudah jauh berbeza daripada zaman dahulu.\nTambahan pula, ketidaktentuan keadaan semasa turut memberikan kesan yang hebat terhadap graduan bagi tahun 2020, 2021 dan 2022. Keadaan ini telah menyebabkan kadar persaingan untuk mendapatkan pekerjaan menjadi tinggi sejak akhir-akhir ini. Oleh itu, siswazah perlu didedahkan dengan pelbagai aspek yang berkaitan dengan pengetahuan, kemahiran serta pengalaman oleh pihak universiti agar mereka bersedia untuk memasuki pasaran kerja kelak.\nPada kesempatan yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra mengingatkan semua masyarakat tentang kesan COVID-19 yang menyebabkan pengurusan industri dan syarikat terpaksa dilakukan secara dalam talian.\nKeadaan itu menuntut masyarakat untuk menguasai kemahiran digital. Sehubungan dengan itu, Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Canselor UniMAP menitahkan para mahasiswa agar melengkapkan diri masing-masing dengan kemahiran terkini yang akan menjadi kelebihan untuk mengisi sebarang kekosongan jawatan yang ditawarkan oleh syarikat.\nHadir sama memeriahkan majlis tersebut ialah Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Mohd Fo\u2019ad Sakdan.\nAntara ahli panel yang diundang dalam program itu ialah Ketua Pegawai Pemasaran & Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani; Pengarah Kanan Frost & Sullivan Asia Pacific, Barry Lim; Ketua Mastrak, Eena Khalil Lim; Pengarah Eksekutif Energy Actions Partner, Ayu Abdullah; dan Penasihat Envision Digital International Pte. Ltd., iaitu Azaidi Mohd Lazim." "Fintech Peluang Pembiayaan Alternatif PMKS\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKemajuan aplikasi teknologi kewangan (fintech) dalam pasaran modal dilihat sebagai antara pemangkin kepada usaha transformasi negara untuk menjadi peneraju ekonomi digital di rantau ini. Sebagai badan berkanun yang mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memastikan potensi fintech ini digunakan secara optimum.\nDi dekad sebelum ini, pasaran modal lazimnya hanya dikaitkan dengan syarikat-syarikat besar yang juga memerlukan jumlah dana yang besar. Manakala, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dilihat lebih sinonim dengan cara pembiayaan tradisional untuk mendapat bantuan dana perniagaan. Antaranya, melalui pinjaman bank atau pun menerusi agensi-agensi tertentu yang menawarkan skim pembiayaan mikro, seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan TEKUN Nasional.\nWalau bagaimanapun, kita sering mendengar keluhan para usahawan PMKS\u00a0 tentang kesukaran mereka untuk mendapatkan pembiayaan, terutamanya daripada pihak bank. Antara faktor yang dikatakan menjadi punca kegagalan mendapatkan pinjaman bank adalah isu dokumentasi yang tidak lengkap, aliran tunai yang tidak menepati piawaian bank, serta kekangan aset sebagai cagaran. Susulan itu, kebangkitan fintech yang lebih fleksibel dalam penawaran pembiayaan ini dilihat dapat membina ekosistem pasaran modal yang lebih menyeluruh, yang mana turut melibatkan keterangkuman kewangan bagi sektor PMKS.\nTambahan pula, ekonomi PMKS kini sangat terjejas kesan daripada pandemik Covid-19 yang telah melanda dunia. Impak ini tidak boleh dipandang ringan kerana walaupun bersaiz mikro, kecil dan sederhana, sektor PMKS merupakan tulang belakang ekonomi negara kerana\u00a0 mewakili 97.2% daripada jumlah pertubuhan perniagaan di Malaysia pada tahun 2020. Maka, kesuraman ekonomi PMKS akan pastinya memberi impak yang signifikan kepada ekonomi negara secara amnya. Malahan, buat pertama kalinya pada tahun 2020, keluaran dalam negara kasar (KDNK) PMKS mencatatkan angka yang lebih rendah berbanding KDNK negara \u2013 menunjukkan bahawa betapa terjejasnya sektor PMKS ekoran pandemik baru-baru ini.\nSehubungan itu, aplikasi fintech dilihat sebagai berpotensi untuk membantu memulihkan sektor PMKS. Ini terbukti apabila platform pendanaan ramai berasaskan ekuiti (equity crowdfunding, ECF) serta pembiayaan antara rakan setara (peer-to-peer financing, P2P) begitu rancak menyokong PMKS dalam keperluan pembiayaan mereka sepanjang tempoh pandemik. Suruhanjaya Sekuriti Malaysia\u00a0 memaklumkan bahawa platform-platform fintech yang berasaskan konsep ECF dan P2P ini telah berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM625 juta hanya dalam masa enam bulan pertama tahun 2021 \u2013 di mana terdapat peningkatan sebanyak 151% dan 220% berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun sebelumnya, masing-masing bagi ECF dan P2P. Sehingga September 2021, platform ECF dan P2P masing-masing telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM352.11 juta dan RM1.94 bilion secara kumulatif sejak beroperasi.\nDengan ini, jelas bahawa plaftorm fintech tidak sepatutnya dianggap sebagai pengganggu (disruptor) kepada perbankan tradisional. Sebaliknya, ia harus dilihat sebagai alternatif pembiayaan yang menjadi pelengkap ekosistem pasaran modal bagi memenuhi keperluan modal yang lebih inklusif. Setakat ini, terdapat 10 platform ECF dan 11 platform P2P yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Para usahawan PMKS kini mempunyai opsyen yang lebih luas bagi mendapatkan pembiayaan bagi modal perniagaan, malahan aplikasi fintech seumpama ini juga dipercayai mampu menawarkan perkhidmatan yang lebih kos efektif kepada pengguna." "Penguasaan Bahasa Melayu Peserta PABM 2021 yang Membanggakan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJOHOR BAHRU \u2212 Berkenaan dengan penganjuran PABM 2021, menurut Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, sebagai badan perancangan bahasa Melayu, pelibatan DBP dalam PABM 2021 (malah sejak musim pertama pada tahun 2007) sudah menjadi sebahagian daripada tanggungjawabnya. DBP sendiri pada tahun 2000 telah mula menggerakkan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu, yang melibatkan persidangan dan wacana lain, penataran bahasa dan sastera, penerbitan dan pelbagai bentuk kegiatan lain pada peringkat antarabangsa. PABM ialah satu daripada kaedah mengangkat bahasa Melayu ke peringkat dunia, apatah lagi yang melibatkan golongan muda.\nTahap penguasaan bahasa Melayu peserta pada umumnya membanggakan, terutama dalam konteks bahasa Melayu tinggi. Ada beberapa aspek yang dapat dibaiki, terutama sebutan seperti bunyi e pepet disebut dengan e taling. Walau bagaimanapun, bagi peserta dari luar alam Melayu, kekurangan seperti itu tidak sampai menunjukkan kelemahan yang besar, malah ada yang mampu menggunakan peribahasa dan unsur gaya bahasa Melayu dalam pidato mereka.\nSeorang lagi panel hakim yang mengadili PABM 2021 yang sempat ditemu bual ialah Puan Olga Vasilevskava (warga Rusia), perunding Nanostix Sdn. Bhd. dan beliau pernah menjuarai PABM 2007. Secara keseluruhannya, beliau amat berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh semua peserta yang menampakkan kematangan berhujah. Katanya lagi, penganjuran PABM perlu dikembangkan ke serata dunia dan semoga selepas berakhirnya pandemik COVID-19 dapat membuka lebih banyak penyertaan dalam pertandingan ini pada masa hadapan." "Malaysia Antara 10 Terbaik Dunia Alibaba Global Digital Talent \u2013 Global Challenge 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Alibaba Global Digital Talent (GDT) Global Challenge 2021 atau Cabaran Global 2021 GDT (Bakat Digital Global) Alibaba yang melabuhkan tirai baru-baru ini menyaksikan pasukan Malaysia mencipta kecemerlangan, dengan dua penyertaan disenarai pendek sebagai 10 Terbaik Global daripada lebih 2000 penyertaan. Secara keseluruhannya, sembilan buah pasukan dari Malaysia yang menyerlah dalam pusingan kebangsaan pertandingan berjaya memasuki pusingan akhir global, yang menampilkan 82 buah pasukan yang disenarai pendek dari seluruh dunia.\nCabaran Global merupakan pertandingan keusahawanan antarabangsa di bawah Program GDT Kumpulan Alibaba. Pertandingan tahun ini menekankan kuasa dan potensi jenama terus kepada pengguna dengan fokus untuk meletakkan digital pada barisan hadapan strategi jualan dan pemasaran.\nPasukan yang mengambil bahagian ditugaskan untuk membangunkan penyelesaian jualan dan pemasaran bagi para pengeluar terkenal yang disyorkan oleh Cabaran GDT Alibaba atau kategori produk berpotensi tinggi lain, dan menterjemahkan strategi mereka dalam amalan untuk mempertingkatkan pendedahan dan kuasa jenama produk sasaran mereka dalam pasaran antarabangsa.\nLebih daripada 2000 buah pasukan dari China, Columbia, Malaysia, Mongolia, Korea Selatan, Filipina, United Kingdom, dan Amerika Syarikat mengambil bahagian dalam cabaran pada tahun ini. Peserta mempunyai akses kepada latihan secara langsung yang diberi oleh pakar industri dan usahawan daripada Rangkaian GDT Alibaba untuk mempelajari pelbagai kemahiran penting dalam perjalanan memulakan sebuah perniagaan pada era digital.\nFinalis 10 Terbaik Global dipilih berdasarkan lima kriteria umum, iaitu cerapan pengguna, inovasi, pelaksanaan perniagaan, kuasa pemasaran digital dan kuasa pelaksanaan pasukan \u201cPandemik COVID-19 membuktikan betapa perlunya perniagaan memberikan keutamaan kepada penjenamaan digital dan strategi pemasaran untuk memperluas jangkauan mereka kepada pengguna akhir. Inilah masa terbaik untuk membolehkan bakat masa depan kita mengaplikasikan kreativiti dan kebijaksanaan digital dalam persekitaran dunia sebenar bagi mewujudkan penyelesaian berdaya maju yang dapat memikat hati pengguna moden hari ini,\u201d jelas James Song, Setiausaha Agung Pejabat Globalisasi Alibaba.\nDua buah pasukan Malaysia yang melayakkan diri dalam 10 Terbaik Global pada tahun ini ialah Pasukan Quadrifoglio daripada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Pasukan Young Boss daripada Sunway University. Bagi kejayaan penyertaan mereka, Pasukan Quadrifoglio mencipta penjenamaan digital lengkap dan kertas cadangan pemasaran bagi penyelesaian rumah pintar hidroponik melalui kerjasama dengan JTEC, iaitu pengeluar sistem hidroponik rumah pintar di Malaysia. Produk tersebut direka bentuk untuk menjadikan penanaman dalam rumah lebih selesa dan mudah diakses dengan pemantauan automasi masa benar dan sistem kawalan.\nProjek mereka menyerlahkan kandungan digital yang dihasilkan secara keseluruhan oleh pasukan tersebut seperti hantaran blog, video jenama dan hantaran media sosial, yang bertujuan mempertingkatkan kesedaran bukan sahaja mengenai produk tetapi juga jenama dan manfaat gaya hidup yang mampan.\nSementara itu, menyedari potensi industri haiwan peliharaan yang pantas berkembang di Malaysia, Pasukan Young Boss memfokuskan penyelidikan mereka pada bidang ini dan membangunkan pengeluaran yang berkaitan dan strategi pemasaran bagi tilam haiwan peliharaan premium yang boleh diubahsuai, yang disasarkan kepada pemilik anjing dan kucing.\nMereka memanfaatkan hantaran media sosial untuk membina kesedaran jenama dan memperkenalkan ciri produk dalam kalangan pemilik haiwan peliharaan muda di Malaysia, yang mengutamakan ciri tahan lama dan harga mampu bayar. \u00a0\u201cMenempatkan diri dalam kelompok finalis 10 Terbaik Global Cabaran Global GDT Alibaba merupakan pencapaian yang tidak pernah kami impikan. Daripada pembinaan aplikasi serta penghasilan jenama dan kandungan media sosial hinggalah berjaya terpilih untuk pusingan akhir global, kami telah mempelajari banyak iktibar yang berharga, bukan hanya dari segi kemahiran dan pengetahuan, tetapi juga dari segi kerja berpasukan dan daya tahan. Latihan, pembelajaran penting dan amalan terbaik yang disediakan oleh pasukan GDT Alibaba dan juga bimbingan daripada penasihat kami di UTAR ternyata sangat membantu dalam memastikan kami berada pada landasan yang tepat,\u201d jelas Pasukan Quadrifoglio.\n\u201cPerjalanan yang dilalui sungguh memberangsangkan bagi kami yang mengambil bahagian dalam Cabaran Global GDT Alibaba tahun ini. Iktibar dan pembelajaran penting yang telah kami raih dalam proses ini adalah amat bermakna. Daripada penyelidikan kami, kami dapat memerhatikan trend kemanusiaan dan premium haiwan peliharaan yang berkembang, yang semakin meningkat ketika pandemik terutamanya dalam kalangan generasi milenium yang lebih bersedia untuk berbelanja terhadap haiwan peliharaan berbulu mereka. Hal ini mendorong kami menyedari potensi besar dalam pasaran tilam haiwan peliharaan yang masih belum diteroka sepenuhnya,\u201d ujar Pasukan Young Boss.\nUTAR juga memasukkan pasukan kedua, RT4, yang memenangi tempat ketiga dalam pusingan kebangsaan. RT4 telah menghantar kertas cadangan mereka mengenai tapak kasut ortotik tersuai. Produk penjagaan keselesaan, yang bertujuan menyediakan pelapik dalam kasut pada harga mampu milik dengan memanfaatkan reka bentuk 3D dan teknologi percetakan.\nProgram GDT Alibaba (dahulunya \u201cProgram GET Alibaba\u201d) diperkenalkan pada tahun 2016 dengan misi menggalakkan transformasi digital dan pembangunan inklusif melalui inkubasi bakat digital. Melalui rangkaian latihan globalnya, Program tersebut hingga kini memberikan manfaat kepada 80 rakan kongsi pendidikan dan melatih lebih 1000 orang pensyarah dan lebih 20 000 orang pelajar serta peserta lain dari Columbia, Mexico, Mongolia, Malaysia, negara Thai, Indonesia, Filipina, Rwanda, Singapura, dan China.\nProgram GDT Alibaba di Malaysia bekerjasama dengan INTI University, HELP University, Sunway University, dan UTAR untuk \u201cmengeram\u201d bakat digital tempatan. Hingga kini, lebih daripada 3000 orang pelajar tempatan mempelajari konsep ekonomi digital dan meneroka peluang dalam ekonomi digital melalui Program tersebut.\nProgram GDT Alibaba merupakan sebahagian daripada misi Alibaba untuk memudahkan perniagaan di mana-mana sahaja. Dengan memanfaatkan sumber dan amalan terbaik daripada Ekosistem Alibaba di seluruh dunia, inisiatif ini menyasarkan perkongsian impak positif daripada paradigma perniagaan baharu ekonomi digital dan menggalakkan pembangunan inklusif untuk merangsang dan memperkasakan belia secara global. Rangkaian GDT Alibaba terbuka kepada universiti dan institusi pendidikan yang berhasrat menggabungkan kurikulum ekonomi digital dalam sistem pendidikan dan latihan serta membangunkan usahawan muda dan bakat digital.\nUntuk maklumat lanjut mengenai Rangkaian GDT Alibaba, sila layari https://get.alibaba.com/" "Harga Siling Runcit Ayam Standard RM8.90 Sekilo di Semenanjung Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyambut baik keputusan Kerajaan dalam menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM8.90 sekilogram dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Mengenai Industri Pengeluaran Makanan pada 31 Januari 2022 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob.\nHarga siling runcit ini akan berkuat kuasa pada 5. Februari 2022 setelah berakhirnya Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) pada 4 Februari 2022. Harga ini akan kekal hingga 5 Jun 2022, iaitu selama 121 hari bagi menjamin kestabilan harga ayam dan juga harga makanan lain yang berkaitan. Penetapan Harga Siling Runcit ayam bagi Labuan, Sabah dan Sarawak akan dibuat berdasarkan lokasi.\nMesyuarat diberikan taklimat berkenaan industri pengeluaran ayam dan telur yang menerima impak kenaikan mendadak kos input makanan jagung dan soya merangkumi 70% kos penternakan ayam. Dengan peningkatan kos pengeluaran maka pihak industri telah mengemukakan kepada kerajaan supaya harga kawalan dinaikkan. Sekiranya tiada intervensi daripada kerajaan, harga runcit ayam di pasaran pada masa ini akan melebihi RM10.00 sekilogram.\nHarga runcit RM8.90 ini merupakan penurunan kali ketiga selepas ditetapkan pada RM9.50 semasa Perayaan Deepavali, RM9.30 ketika Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) dari 7 Disember hingga 31 Disember 2021 dan RM9.10 semasa SHMKM dari 1 Januari 2022 hingga 4 Februari 2022.\nPenetapan harga baru runcit ayam ini ditampung melalui subsidi kerajaan hingga kos pengeluaran ayam kembali rendah dan stabil. Beberapa ketetapan rakyat berpusat bersabit dengan industri pengeluaran ayam dan telur juga telah diputuskan dalam mesyuarat NACCOL:\ni. Harga telur ayam semua gred kekal seperti harga maksimum runcit Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) semasa.\nii. Pelaksanaan kedua-dua harga siling runcit ayam dan telur ini bermula 5 Februari sehingga 5 Jun 2022. Walau bagaimanapun, harga siling runcit ini akan dikaji dari masa ke semasa bergantung kepada faktor-faktor yang mempengaruhi pengeluaran ayam dan telur ayam negara.\niii. Permit import ayam bulat dibuka kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP) bagi mengimport ayam, berbanding dengan sebelum ini mereka hanya dibenarkan mengimport keratan ayam seperti kepak, paha dan lain-lain. Mesyuarat juga bersetuju AP mengimport ayam dibuka kepada pengusaha pasar raya besar (Hypermarket).\nKPDNHEP juga ingin menyatakan sokongan terhadap keputusan proaktif kerajaan dalam memastikan Dasar Sekuriti Makanan Negara sentiasa terjamin bukan sahaja dari segi bekalan, tetapi juga pada harga yang tidak membebankan rakyat Malaysia:\ni.\u00a0 \u00a0 Menyokong penyelidikan yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menjadikan isi rong kelapa sawit sebagai alternatif kepada jagung dan soya yang diimport sepenuhnya sebagai makanan ayam.\nii.\u00a0 Mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk memanjangkan tempoh penggunaan tanah di bawah lesen pendudukan sementara (TOL) bagi aktiviti pertanian.\niii. KPDNHEP akan memastikan pelaksanaan arahan Kerajaan kepada agensinya, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk membuat siasatan berterusan bagi memastikan tiada wujudnya kartel dalam pakatan menentukan harga ayam dan telur.\nSemua ketetapan termasuk pelan tindakan jangka panjang yang diputuskan akan dibincangkan dengan lebih terperinci dalam Mesyuarat Taskforce Pelaksanaan yang akan dipengerusikan oleh MAFI dan akan dilaporkan dalam mesyuarat NACCOL akan datang." "TVET Mampu Lahirkan Individu Usahawan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) pada hari ini dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato\u2019 Sri Ismail Yaakob secara telesidang ini dihadiri oleh 13 orang menteri, tokoh industri, termasuklah dari Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia, ahli akademik, dan wakil pelajar.\nMesyuarat MTVET kali ini melakarkan sejarah dengan memperakukan penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (Government- Industry TVET Coordination Body (GITC)).\nBuat julung-julung kalinya, badan yang diterajui industri tersebut akan terlibat secara langsung dalam pembangunan modal insan TVET negara, khususnya berkaitan dengan keperluan kemahiran dan tenaga kerja.\nKeanggotaan GITC terdiri daripada 12 buah persatuan berdasarkan sektor industri yang bersetuju bersama-sama berganding bahu menjayakan agenda TVET negara melalui GITC.\nMesyuarat juga bersetuju dengan pelaksanaan TVET Collaboration Hub, melibatkan 11 buah kementerian dan diselaraskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Inisiatif ini bakal menjadi platform kolaborasi strategik kepakaran, peralatan dan teknologi antara pusat kecemerlangan dengan institusi-institusi TVET, pihak berkuasa wilayah ekonomi dan industri.\nSebanyak 12 hab dikenal pasti, termasuklah automotif, semikonduktor, marin, penyaman udara, aeroangkasa, robotik, rel, telekomunikasi, hospitaliti dan pelancongan serta teknologi makanan akan dilaksanakan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.\nMesyuarat bersetuju secara dasar dengan cadangan penarafan tunggal TVET, namun proses libat urus bersama-sama kementerian serta industri perlu dilaksanakan sebelum dibentangkan semula dalam mesyuarat MTVET yang akan datang.\nInisiatif ini dijangka akan memperkukuh simbiosis ekosistem TVET dalam menghubungkan pihak-pihak yang terlibat untuk merapatkan jurang antara permintaan dengan penawaran tenaga kerja.\nUsaha yang dilaksanakan MTVET amat signifikan bagi merealisasikan strategi dan inisiatif yang dirangka di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Dalam Belanjawan 2022, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion untuk memperkasakan TVET melalui pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan oleh kementerian dan agensi berkaitan.\nInisiatif ini bakal menyediakan siswazah yang menepati keperluan industri, meningkatkan kualiti institusi TVET, memperkukuh penawaran program berorientasikan industri dan memperhebat keterlibatan aktif industri.\nSudah tiba masanya TVET menjadi pilihan utama para belia dalam mempersiapkan diri mereka untuk masa depan. Hal ini demikian kerana TVET terbukti mampu melahirkan individu berkemahiran, terlatih dan berbudaya usahawan.\nKementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah diminta membuat pendedahan awal sistem pendidikan TVET kepada pelajar Tingkatan 1, agar mereka boleh membuat pilihan yang bersesuaian dengan kecenderungan mereka.\nHingga kini, terdapat 1295 orang penyedia TVET awam dan swasta yang merentasi 11 buah kementerian termasuk 22 buah institusi TVET kerajaan negeri di seluruh Malaysia, yang menyediakan pengajian peringkat sijil dan diploma.\nKerajaan kini mengiktiraf Diploma Vokasional Malaysia (DVM) sebagai laluan ke rangkaian universiti teknikal awam di Malaysia (MTUN), iaitu Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).\nElemen ini berupaya menjadikan seseorang belia lebih berdikari dan mampu menyesuaikan diri dalam suasana kerjaya yang mencabar.\nMenyedari kepentingan TVET, mesyuarat bersetuju agar kempen, promosi dan penjenamaan semula dilakukan secara komprehensif bagi menghapuskan persepsi yang mengatakan TVET adalah pendidikan kelas kedua dan sudah tidak relevan lagi.\nMelalui kempen dan promosi ini, kerajaan mengharapkan supaya TVET dijadikan pilihan setara dengan akademik, sekali gus menjadikannya sebagai kerjaya pilihan seperti negara maju yang lain." "Isu Kekurangan Bekalan Telur Ayam Selepas Cuti Tahun Baru Cina\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil maklum isu kekurangan bekalan telur ayam yang berlaku ketika ini yang dilaporkan oleh media dan orang ramai di media sosial.\nKementerian telah mengambil tindakan awal yang perlu bagi mengenal pasti punca yang berlaku dan mencari mekanisme terbaik bagi mengatasi isu kekurangan bekalan telur ayam ini. Rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 30 juta biji telur ayam sehari atau 930 juta sebulan di seluruh negara. Berdasarkan data pengeluaran telur ayam dari 50 syarikat telur ayam yang mewakili 80% pengeluaran telur ayam di Malaysia, sebanyak\n839 281 658 biji telur ayam dikeluarkan pada bulan Disember 2021. Unjuran pengeluaran telur ayam bagi bulan Januari 2022 pula adalah sebanyak\n839 882 296 biji telur ayam. Hingga 3 Februari 2022, sebanyak 91% ketersediaan bekalan telur ayam dalam pasaran negara direkodkan berdasarkan pemantauan yang dilakukan. Peratusan ini menunjukkan bahawa bekalan telur ayam adalah stabil dan mampu untuk memenuhi permintaan semasa pengguna Malaysia. Namun, berlaku peningkatan permintaan dan pembelian telur ayam yang mendadak sebelum, semasa dan selepas cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini yang menyumbang kepada gangguan ke atas bekalan telur ayam kini. Di samping itu, terdapat ladang ternakan ayam dan telur ayam serta syarikat logistik penghantaran tidak beroperasi sepanjang cuti CNY, malah ada yang cuti lebih lama daripada dua hari cuti umum Tahun Baharu Cina. Semua hal ini menyumbang kepada kelewatan dalam pembekalan telur dari ladang kepada pemborong dan peruncit di beberapa buah tempat seperti di Terengganu, Negeri Sembilan, Perlis, dan Sarawak.\nPenguat Kuasa KPDNHEP sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan setiap hari tentang kedudukan bekalan barangan keperluan utama di setiap rantaian pengedaran, iaitu pada peringkat pengilang, pemborong dan peruncit. Di samping ayam dan telur barang-barang lain yang turut dipantau, termasuklah gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayuran, telur ayam, dan bawang.\nKPDNHEP yakin bahawa bekalan telur akan kembali stabil dan keberadaannya akan meluasdi semua lokaliti di Malaysia apabila ladang pengeluar telur ayam dan syarikat logistik penghantaran beroperasi semula tidak lama lagi. KPDNHEP mengarahkan para peruncit untuk memperbaharu stok yang ada di premis masing-masing dan menghubungi \u00a0pemborong dan pengeluar jika stok mereka jatuh ke had pesanan semula (re\u2013order limit).\nMaklumat awal juga diperoleh daripada beberapa buah syarikat pengeluar dan pemborong telur ayam dalam negara yang menyatakan bahawa kekurangan bekalan telur ayam berpunca daripada peningkatan kos yang tinggi terhadap pengeluaran telur ayam ketika ini. Selain itu, bekalan pada peringkat pemborong juga berkurangan kerana dianggarkan sebanyak 50 buah ladang kecil dan sederhana ditutup disebabkan syarikat tidak mampu lagi menanggung kos operasi yang tinggi.\nKerajaan mengambil langkah intervensi dengan melaksanakan Penentuan Harga Maksimum dari 5 Februari 2022 hingga 5 Jun 2022. Sebanyak dua jenis barangan yang ditentukan harga maksimum tersenarai seperti ayam dan telur ayam (Gred A, B dan C). KPDNHEP yang bertanggungjawab memastikan bekalan dan harga telur ayam kekal stabil akan terus mengadakan sesi libat urus Bersama-sama pemain industri dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat bagi mengenal pasti punca dan mencari kaedah penyelesaian yang adil dan kondusif bagi memastikan isu kekurangan bekalan telur ayam ketika ini dapat di atasi segera." "Peningkatan Harga Minyak Sawit Mentah Keuntungan kepada Pekebun Kecil Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Peningkatan harga Minyak Sawit Mentah (MSM) selama dua hari berturut-turut pada paras RM5750 setiap tan pada 3 Februari 2022 dan 4 Februari 2022 pastinya memberikan khabar gembira dan keuntungan kepada hampir 400 000 orang pekebun kecil di seluruh negara kerana berada pada harga tertinggi\u00a0 dalam sejarah industri sawit negara.\nPeningkatan ini ialah bukti komitmen Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui agensi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) bersama Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) dalam membantu rakyat menerusi pelbagai inisiatif dan dasar Kerajaan.\n3. KPPK akan terus berusaha memperluas pasaran minyak sawit Malaysia ke pasaran luar negara, khususnya di Asia Barat seperti di Turki dan Arab Saudi memandangkan terdapat peningkatan eksport minyak sawit Malaysia ke Turki dengan jumlah 703 588 tan pada tahun 2021 dan komitmen Arab Saudi untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia kepada 500 000 tan dengan nilai dianggarkan mencecah RM1.5 bilion pada tahun ini.\nBeberapa Memorandum Persefahaman ditandatangani dengan beberapa buah syarikat, satu daripadanya Savola Group yang merupakan pengimport dan pengedar minyak makan terbesar di Arab Saudi. Bahkan, KPPK turut menjalinkan tiga bidang kerjasama, termasuklah pembinaan terminal penyimpanan tangki di Jeddah, menjadikan Arab Saudi sebagai hab eksport semula minyak sawit Malaysia dan kempen bersama untuk mempromosikan kebaikan minyak sawit Malaysia ke negara berkenaan dan dunia.\nKPPK akan terus bekerja keras bagi memastikan kepentingan jangka panjang industri minyak sawit terjaga dan seterusnya membantu pekebun kecil kelapa sawit dan pihak berkepentingan lain walaupun pada ketika ini terdapat sekatan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit Malaysia.\nSekali lagi, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama dengan KPPK dalam usaha menangani propaganda anti-minyak sawit oleh negara-negara Barat yang dengan jelas bertujuan untuk menjatuhkan industri minyak sawit negara. Kita perlu memastikan industri sawit negara akan terus menjadi antara penyumbang terbesar ekonomi negara." "B40 PPR Jelatek Terima Bantuan Yayasan Bank Rakyat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "KRC- Potensi Baharu Ekonomi Wilayah Utara Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u00a0Kedah Rubber City (KRC) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Padang Terap berpotensi untuk menarik pelaburan bernilai RM10 bilion dan mewujudkan 15,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2025.\nBeliau berkata, biarpun baharu sahaja dilancarkan, KRC telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM4 bilion yang bakal menjana hampir 7,000 peluang pekerjaan kepada Keluarga Malaysia.\nTambah beliau, sebagai contoh, kerjasama strategik di antara Mitsui & Co (Malaysia) Sdn Bhd dengan Hong Seng Consolidated Berhad (Hong Seng) melibatkan pelaburan kira-kira RM3 bilion untuk KRC.\n\u201cKerjasama ini akan mengukuhkan rantaian bekalan bahan mentah dalam pembuatan polimer NBL dengan kepakaran Mitsui dalam industri ini. \u201cPelaburan ini bukan sahaja bakal mewujudkan 1,600 peluang pekerjaan baharu tetapi juga dapat mengurangkan kebergantungan terhadap import polimer NBL kerana Hong Seng akan memindahkan teknologi canggih baharu yang diperoleh kepada negara,\u201d katanya.\nBeliau berkata demikian ketika merasmikan Projek Strategik NCER \u2013 KRC di Ladang Bukit Ketapang, Kuala Nerang. Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran sembilan dokumen kerjasama antara NCIA dan pelabur serta rakan-rakan strategik dalam pembangunan KRC.\nTurut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Eksekutif NCIA Datuk Seri Jebasingam Issace John." "FOMCA Gesa BNM Desak Syarikat Insurans Tidak Guna \u201cEndorsement 106\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) supaya mendesak syarikat insurans untuk mengeluarkan \u201cEndorsement 106\u201c dan istilah bengkel panel daripada polisi perlindungan kereta persendirian.\nPresiden FOMCA, Profesor Datuk Dr. N Marimuthu berkata, langkah itu penting bagi memastikan kebebasan kepada pengguna untuk membuat pilihan terhadap mana-mana bengkel yang berdaftar di bawah Skim Pembaikan Diluluskan Persatuan Insurans Am Malaysia (PARS).\nJelas beliau, perkara itu juga perlu dilaksanakan kerana \u201cEndorsement 106\u201c yang menetapkan pelanggan polisi untuk menghantar kenderaan kepada bengkel khusus itu\u00a0 dibatalkan oleh BNM pada tahun 2016.\n\u201cFOMCA serta NCCC (National Consumer Complaint Centre) menerima banyak aduan berkenaan dengan penanggung insurans yang mendesak pengguna untuk mengalihkan kenderaan mereka ke bengkel panel mereka.\n\u201cSyarikat insurans menjadikannya lebih menyusahkan pengguna kerana kelewatan dalam memberikan perkhidmatan yang diperlukan.\n\u201cSesetengah pengguna hanya mempunyai satu kenderaan untuk digunakan dan banyak pengguna yang terpaksa keletihan mental kerana perkara ini,\u201d ujar beliau." "CIMB dan NCIA Jalinkan Kerjasama Tawarkan Rebat Faedah Sokong Pemulihan PKS\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad menjalinkan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk menyediakan rebat faedah bagi menyokong pemulihan peniaga kecil dan sederhana (PKS) pasca COVID-19.\nMenerusi Skim Usahawan CIMB (NCES) di bawah NCIA, PKS yang layak akan mendapat rebat sebanyak 50 % daripada jumlah faedah dan keuntungan untuk permohonan mereka kepada Program Pembiayaan Quick Biz CIMB SME.\nInisiatif ini akan menyokong sasaran NCIA sekurang-kurangnya sebanyak 1000 PKS dan PKS mikro dalam baki tempoh Rancangan Malaysia ke-12.\nNCIA ialah badan berkanun yang bertanggungjawab untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) meliputi empat negeri utara Semenanjung Malaysia yang merangkumi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.\nSebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk membantu dan menghidupkan semula PKS semasa pandemik, NCIA telah melanjutkan inisiatif rebat mereka kepada institusi kewangan, dengan CIMB sebagai rakan baharu.\nUntuk maklumat lanjut mengenai program NCES, PKS boleh berhubung dengan Pengurus Perhubungan CIMB atau melawat mana-mana cawangan bank CIMB atau CIMB Islamic Bank." "Xsolla Membantu Pembangun Permainan Malaysia ke Pasaran India\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Xsolla, enjin perniagaan permainan video yang membantu pembangun dan penerbit melancarkan dan mengoperasi permainan secara global, pada hari ini mengumumkan bergabung dengan Paytm Payment Gateway, penyedia solusi pembayaran India yang terkemuka, untuk membawakan solusi pembayaran permainan ke India. Industri permainan Malaysia terus berkembang pesat dan pendapatan diunjurkan untuk mencecah nilai melebihi USD402 juta pada tahun 2021, dan dengan disokong oleh pembangun permainan tempatan yang semakin mendapat perhatian antarabangsa, industri ini sudah bersiap sedia untuk menyahut cabaran bagi mencapai pertumbuhan yang lebih signifikan lagi.\n\u00a0\nPembangun permainan Malaysia sekarang mempunyai akses yang lebih mudah ke pasaran permainan India yang sedang tumbuh dengan rancak, tatkala Xsolla sibuk menyepadukan Dompet Digital Paytm, Unified Payment Interface (UPI), dan solusi pembayaran perbankan dalam talian ke dalam platform Pay Stationnya. Pembangun permainan dan penerbit video Malaysia boleh mengaut keuntungan daripada produk mereka di India yang memberi mereka akses kepada pasaran permainan yang amat besar dengan lebih daripada 400 juta orang pemain\u00a0yang menduduki tempat kedua di belakang bes pemain China.\n\u201cIndia menjadi satu daripada ekonomi gergasi permainan yang paling pesat berkembang di\u00a0 Asia, membawa masuk lebih kurang $1.5B setiap tahun, dengan angka pertumbuhan dijangkakan untuk berkembang tiga kali ganda menjelang tahun 2024,\u201d kata Ketua Pembayaran dan Dagangan Xsolla, Anton Zelenin. \u201cDari segi sejarah, pasaran pembayaran India telah lama didominasi oleh urusan secara wang tunai dan hanya sekarang pembayaran digital mulai berkembang untuk memenuhi permintaan dari aktiviti membeli-belah atas talian, satu budaya baru yang dipacu oleh penularan penggunaan telefon pintar, yang kian meningkat saban hari. Untuk menjual dengan berjaya di negara ini, pembangun perlu mempunyai akses kepada pelbagai kaedah pembayaran yang kadangkala boleh menjadi agak rumit. Xsolla mengisi kekosongan tersebut dan membawa nilai dengan menawarkan solusi pembayaran kami untuk menjadi perantaramuka kepada kaedah pembayaran tempatan yang diprasepadukan.\u201d\n\u201cKami amat gembira untuk berkongsi dengan satu jenama global seperti Xsolla,\u201d kata Praveen Sharma, Timbalan Presiden Kanan \u2013 Paytm. \u201cIndustri permainan di India telah berada di satu trajektori pertumbuhan yang menaik dalam beberapa tahun kebelakangan, dan ini adalah satu trend yang akan bersambung pada masa akan datang. Solusi yang Xsolla beri kepada industri telah memecah kebuntuan dari segi pembayaran dan menjadi pembuka jalan utama, dan kami amat berbangga untuk menjadi rakan kongsi pembayaran dalam perjalanan ini.\u201d\nMana-mana pedagang yang mahu menjalankan perniagaan di India memerlukan satu entiti tempatan dan satu akaun bank tempatan. Integrasi dengan Paytm Payment Gateway mengukuhkan Xsolla sebagai pedagang berekod untuk pelanggannya, membolehkan mereka untuk memintas proses rumit yang banyak mengambil masa itu. Xsolla merupakan satu daripada beberapa perkhidmatan terpilih yang menawarkan pembayaran tempatan di India untuk pelanggan merentas sempadan dan hal ini membenarkan semua pelanggan Malaysia mereka untuk mempunyai akses mudah ke pasaran permainan yang amat besar ini.\nUntuk mempelajari lebih banyak mengenai tawaran Pay Station Xsolla sila lawati: https://xsolla.pro/xps\nUntuk mempelajari lebih banyak mengenai ekonomi permainan di India, muat turun ebuku kami di: https://xsolla.pro/ieb" "Cara Penulisan Peribahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPeribahasa ialah satu daripada khazanah bahasa dan sastera bangsa yang tidak ternilai. Pada zaman dahulu, manusia memerhatikan keadaan dan kejadian yang berkaitan dengan pelbagai unsur persekitaran untuk menghasilkan peribahasa. Dengan cara itu, sesuatu gambaran, pesanan atau teguran dapat disampaikan secara lebih halus dan berseni, tanpa menjatuhkan air muka orang atau menimbulkan konflik.\nBagaimanakah kita menyelitkan peribahasa dalam ayat? Hal ini bergantung pada jenis peribahasa, tujuan ayat dan struktur ayat yang berkenaan.\nJika kita hendak menjelaskan maksud peribahasa atau merujuk peribahasa sebagai fokus ayat, tanda petik atau tanda pengikat kata perlu kita gunakan. Dalam hal ini, peribahasa yang berkenaan menjadi penerang frasa nama. Sila lihat contoh yang berikut:\nAnalisis ayat:\nSubjek: maksud \u201ckaki bangku\u201d\nFrasa Nama (FN): Inti FN + Penerang FN (peribahasa)\nPredikat: orang yang tidak pandai bermain bola\nFrasa Nama \u00a0(FN)\nKata pemeri/perangkai: ialah\nAnalisis ayat:\nSubjek: peribahasa \u201cgenggam bara api, biar sampai menjadi arang\u201d\nFrasa Nama (FN): Inti FN + Penerang FN (peribahasa)\nPeribahasa: genggam bara api, biar sampai menjadi arang\nPredikat: harus kita jadikan sebagai amalan\nFrasa Kerja (FK)\nAnalisis ayat:\nSubjek: sikap rajin \u201cbagai lebah menghimpun madu\u201d\nFrasa Nama (FN): Inti FN + Penerang FN (KA + peribahasa)\nPeribahasa: bagai lebah menghimpun madu\nPredikat: prasyarat untuk berjaya\nFrasa Nama (FN)\nKata pemeri/perangkai: merupakan\nJika kita mengaitkan sesuatu keadaan dengan peribahasa dalam ayat, ayat itu harus ada klausa bebas dengan satu frasa keterangan (peribahasa), atau satu klausa bebas dengan satu klausa subordinat (peribahasa). Dalam hal ini, tanda petik atau tanda pengikat kata tidak perlu kita gunakan. Selain itu, susunan ayat yang berkenaan boleh kita songsangkan. Walau bagaimanapun, predikat klausa bebas tidak boleh dipisahkan daripada peribahasa yang berkenaan. Hal ini dikatakan demikian kerana predikat klausa bebas itu dihuraikan oleh peribahasa yang menyusulinya. Sila lihat contoh yang berikut:\n4a.\u00a0 Dia tidak berilmu bagai katak di bawah tempurung.\n4b.\u00a0 Tidak berilmu bagai katak di bawah tempurung dia.\n4c.\u00a0 *Bagai katak di bawah tempurung dia tidak berilmu.\nAnalisis ayat:\nKlausa bebas:\u00a0 dia tidak berilmu\u00a0 (FN + FK)\nFrasa keterangan:\u00a0 peribahasa\u00a0 (Frasa Sendi Nama)\nbagai katak di bawah tempurung\n(sendi nama + kata nama + frasa sendi nama)\n5a.\u00a0 Dia kebingungan bagai rusa masuk ke kampung.\n5b.\u00a0 Kebingungan bagai rusa masuk ke kampung dia.\n5b.\u00a0 *Bagai rusa masuk ke kampung dia kebingungan.\nAnalisis ayat:\nKlausa bebas: dia kebingungan (FN + FK)\nKlausa subordinat: peribahasa (klausa pancangan keterangan)\nbagai rusa masuk ke kampung\n(kata hubung keterangan + FN + FK)\nJika frasa keterangan \u201cbak kata peribahasa\u201d diselitkan dalam ayat 3 dan 4 di atas, frasa itu harus kita letakkan di antara dua tanda koma sebagai maklumat tambahan. Penyisipan frasa \u201cbak kata peribahasa\u201d memberikan unsur personifikasi kepada peribahasa yang berkenaan. Oleh itu, tanda petik harus kita gunakan. Sila lihat contoh yang berikut:\n6a. Dia tidak berilmu, bak kata peribahasa, \u201cbagai katak di bawah tempurung\u201d.\n6b.\u00a0 Dia kebingungan, bak kata peribahasa, \u201cbagai rusa masuk ke kampung\u201d.\nJika klausa bebas dalam ayat 5a dan 5b dihilangkan, ayat yang tertinggal tergantung, dan tidak gramatis. Sila lihat contoh yang berikut:\n6a.\u00a0 *Bak kata peribahasa, \u201cbagai katak di bawah tempurung\u201d.\n6b.\u00a0 *Bak kata peribahasa, \u201cbagai rusa masuk ke kampung\u201d.\nJika peribahasa dinyatakan oleh pihak tertentu, seperti orang tua-tua, tanda petik harus ditambah pada peribahasa yang diujarkan itu. Hal ini bertepatan dengan cara penulisan cakap ajuk dalam ayat.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\nAda kalanya kita menggunakan kata hubung keterangan musabab untuk merangkaikan klausa bebas dengan peribahasa. Dalam hal ini, tanda petik tidak diperlukan. Sila lihat contoh yang berikut:\n8a.\u00a0 Kita harus bersatu kerana bersatu teguh bercerai roboh.\n8b.\u00a0 Kita harus bersatu kerana orang tua-tua mengatakan bahawa bersatu\nteguh, bercerai roboh.\n8c.\u00a0 Kita harus bersatu kerana peribahasa mengatakan bahawa bersatu\nteguh, bercerai roboh.\n8d.\u00a0 Kita harus bersatu kerana menurut peribahasa; bersatu teguh, bercerai roboh.\nAnalisis ayat:\nKlausa bebas: kita harus bersatu\nKlausa subordinat: kerana bersatu teguh, bercerai roboh\nKata hubung keterangan musabab: kerana\nPeribahasa: bersatu teguh, bercerai roboh\nDalam peribahasa bersatu teguh, bercerai roboh, kata hubung keterangan syarat seperti jika dan subjek kita telah digugurkan. Selain itu, kedua-dua rangkaian kata itu digabungkan dengan tanda koma.\nDari segi konvensi antarabangsa bagi penggunaan tanda petik tunggal (\u2018 . \u2019) atau tanda petik ganda (\u201c . \u201d), yang penting ialah jika kita memulakan penulisan dengan satu bentuk tanda petik, bentuk tanda petik yang terkurung oleh pasangan tanda petik yang pertama itu harus berbeza daripadanya." "Inovatif Xsolla dalam Perdagangan Permainan Video\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nXsolla ialah syarikat dagangan permainan video terkemuka dunia, dengan satu set alatan dan perkhidmatan yang teguh dan berkuasa yang direka khas untuk industri permainan.\nSejak penubuhannya pada tahun 2005, Xsolla\u00a0 membantu beribu-ribu pembangun permainan dan penerbit dari berbagai-bagai saiz untuk mempromosikan dan mengaut keuntungan daripada permainan mereka pada peringkat global dan merentas pelbagai platform.\nSebagai pemimpin yang berinovatif dalam perdagangan permainan, Xsolla\u00a0 menyambung usaha berterusannya untuk menyelesaikan kompleksiti yang sedia wujud dalam bidang pengedaran, pemasaran, dan\u00a0 penjanaan keuntungan pada peringkat global supaya rakan kongsi mereka boleh mengembangkan jumlah penonton, penglibatan, dan pendapatan mereka.\nDengan pejabat di seluruh dunia, Xsolla buat masa ini sedang bekerja bersama dengan entiti permainan utama seperti Valve, Twitch, Roblox, Ubisoft, Epic Games, Take-Two, KRAFTON, Nexters, NetEase, Playstudios, Playrix, miHoYo, dan banyak lagi. Untuk maklumat tambahan, sila lawati xsolla.com\nXsolla \u2013 Percepatkan Dagangan Permainan Video Anda \u2013 https://xsolla.pro/agc" "KeTSA Berjaya Menarik Potensi Pelaburan RM5.8 Bilion Ekspo 2020 Dubai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bersama-sama agensi di bawah seliaannya iaitu Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia dan Yayasan Hijau Malaysia (YHM) selaku agensi pelaksana berjaya menganjurkan Minggu ke-18 Ekspo 2020 Dubai bertemakan Sustainable Energy and Natural Resources dari 30 Januari 2022 hingga 5 Februari 2022.\nSepanjang Minggu ke-18 ekspo ini, delegasi KeTSA yang turut disertai oleh 13 syarikat tempatan daripada bidang tenaga dan sumber asli berjaya menarik potensi pelaburan dengan anggaran nilai RM5.8 bilion. Daripada jumlah tersebut, potensi pelaburan bernilai RM4.22 bilion adalah melalui dua Memorandum Persefahaman yang telah dimeterai, iaitu antara syarikat Gading Kencana Sdn. Bhd. dengan syarikat March Global LLC dari Arab Saudi untuk pembangunan projek solar berskala besar di Timur Tengah, Afrika dan rantau Asia yang dijangka menjanakan pelaburan bernilai RM4.2 bilion.\nSementara itu, Memorandum Persefahaman antara syarikat Concord Renewable Energy Sdn. Bhd dengan Innio Jenbacher GMBH & CO OG dari Austria, yang akan membekalkan teknologi dan peralatan bagi pembangunan penjanaan loji janakuasa biogas, dijangka melibatkan pelaburan bernilai RM20 juta. Selebihnya, iaitu RM1.6 bilion diperoleh melalui 57 sesi padanan perniagaan antara syarikat tempatan yang menyertai delegasi KeTSA dengan syarikat-syarikat asing yang turut menghadiri Ekspo 2020 Dubai.\nMinggu ke-18 ekspo ini juga menyaksikan syarikat Concord Renewable Energy Sdn. Bhd. melancarkan Concord Biogas Cube Srubber System yang merupakan produk bagi penjanaan tenaga daripada sumber biogas yang direka serta dihasilkan melalui inisiatif penyelidikan dan pembangunan syarikat tersebut yang berpotensi untuk diperluas ke negara-negara lain. Selain itu, wakil-wakil industri dari Malaysia, iaitu PETRONAS, Gading Kencana Sdn. Bhd. dan Concord Renewable Energy Sdn. Bhd. menyertai sesi perkongsian maklumat mengenai potensi perniagaan dan peluang pelaburan, terutamanya dalam bidang tenaga lestari di Malaysia.\nDelegasi KeTSA dan syarikat-syarikat turut mengambil peluang mengadakan kunjungan rasmi ke pavilion Emirates National Oil Company (ENOC) dan Dubai Electricity and Water Authority (DEWA) untuk berkongsi pandangan dan pengalaman mengenai strategi serta pelaksanaan usaha peralihan tenaga." "Bantuan untuk Memulihkan Usahawan PMKS yang Terjejas Banjir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013\u00a0 Kerajaan komited menyediakan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia yang komprehensif bagi meringankan beban rakyat yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda negara.\nMengambil kira cabaran yang dihadapi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terkesan ekoran banjir untuk memulihkan perniagaannya dan beroperasi semula, Kerajaan telah memutuskan untuk menambahbaik bantuan kepada perniagaan tersebut.\nSebelum ini, pada bulan Disember 2021, kerajaan telah pun mengumumkan dana pinjaman RM500 juta untuk Kemudahan Bantuan Bencana yang melibatkan pinjaman kepada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) hingga RM700 000.000\u00a0 pada kadar faedah hingga 3.5% setahun dengan moratorium enam bulan.\nDi samping itu, dana sebanyak RM30 juta disediakan melalui TEKUN Nasional untuk pinjaman hingga RM10 ribu kepada usahawan mikro dan informal.\nSukacita diumumkan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia untuk membantu PMKS yang terjejas akan ditambah baik seperti berikut:\nPertama, kerajaan akan memberi geran bernilai RM3000.00 melalui TEKUN Nasional kepada setiap perniagaan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir dengan peruntukan disediakan sebanyak RM50 juta yang bakal memanfaatkan lebih 15 000 perniagaan mikro dan informal.\nKedua, dana tambahan RM50 juta akan disediakan melalui Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) di bawah TEKUN Nasional khusus untuk perniagaan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir dengan pinjaman mikro hingga RM10 000.00 tanpa faedah di mana tempoh bayar balik adalah hingga lima tahun dengan moratorium 12 bulan.\nKetiga, dana sebanyak RM100 juta akan disediakan melalui Program SME Emergency Fund (SMEEF) di bawah SME Corp untuk PKS terjejas, pinjaman hingga RM100 000.00 tanpa faedah yang tempoh bayar balik adalah hingga lima tahun dengan moratorium 12 bulan.\nKeempat, dalam sektor pertanian, sehingga kini jumlah kerugian yang dilaporkan kesan daripada bencana banjir pada bulan Disember 2021 adalah sebanyak RM91 juta dan jumlah bantuan yang telah disalurkan adalah sebanyak RM21 juta. Kerajaan meluluskan bantuan tambahan kepada pengusaha Agromakanan yang terjejas banjir melalui\u00a0suntikan dana sebanyak RM20 juta untuk Tabung Bencana Tanaman Padi\u00a0(TBTP) menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).\nDi bawah TBTP, pesawah yang mengalami kemusnahan tanaman padi akibat banjir bakal menerima bantuan secara tunai hingga RM1800 per hektar dengan had maksimum hingga tiga hektar. Bagi pengusaha pertanian lain pula, RM50 juta tambahan akan disediakan di bawah Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA).\nDi bawah PPSPA, petani, penternak dan peladang yang terjejas akibat kerosakan banjir, layak untuk memohon untuk bantuan hingga maksimum 50% daripada jumlah kerugian. Kadar dan had bantuan adalah mengikut Garis Panduan tabung tersebut dan diberi dalam bentuk barangan atau benda (in-kind),\u00a0iaitu seperti input pertanian atau peralatan.\nKerajaan akan terus komited dalam usahanya meringankan beban semua golongan yang terjejas akibat banjir seperti PMKS dan Pengusaha Agromakan dengan sentiasa bersedia untuk menyediakan bantuan yang sewajarnya." "Prosedur Operasi Standard Baharu Umrah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Mesyuarat Ke-12 Menteri Kuartet COVID-19 bertarikh 8 Februari 2022 telah bersetuju dengan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard baharu untuk aktiviti umrah. Antara perkara-perkara penting di bawah Prosedur Operasi Standard baharu ini adalah:\nProsedur Operasi Standard baharu ini akan dikuatkuasakan bermula pada 14 Februari 2022. Susulan itu, kepada para jemaah yang melaksanakan perjalanan mengerjakan umrah dari 8 Februari 2022 hingga 13 Februari 2022 boleh mengguna pakai tatacara Prosedur Operasi Standard sebelum ini. Penggunaan Prosedur Operasi Standard baharu akan mula diterima pakai sebaik sahaja jemaah kembali semula ke Malaysia, termasuklah menjalani kuarantin di rumah secara automatik kecuali yang memilih untuk kuarantin di pusat kuarantin swasta.\nKementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang mengatur sesi Training for Trainers (TOT) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia kepada semua syarikat pengendali umrah yang berlesen di bawah MOTAC mengenai pemakaian Prosedur Operasi Standard baharu ini. Mereka seterusnya bertanggungjawab untuk memberikan taklimat penerangan kepada jemaah di bawah kendalian mereka sebelum berlepas mengerjakan umrah." "\u201cSatu Keluarga Satu Rumah\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMPMMN merupakan platform untuk membincangkan dan menyelaraskan hala tuju perancangan, penyelarasan serta pemantauan bagi penyediaan rumah mampu milik (RMM) di seluruh negara selaras dengan matlamat SATU KELUARGA SATU RUMAH.\nMesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN)\u00a0bersetuju menetapkan hala tuju baharu Program Perumahan Rakyat (PPR) yang mengambil kira keperluan semasa serta memasukkan komponen baharu ke arah menjayakan agenda Malaysia Berdaya Huni atau Liveable Malaysia.\nPembinaan PPR baharu akan mengambil kira elemen seperti keterhubungan dan akses Internet seperti Fibre to The Home (FTTH), jaringan hubungan pengangkutan awam serta reka bentuk yang lebih ekonomi dan lebih selesa.\nSelain itu, MPN turut\u00a0membincangkan strategi penyediaan dan pelaksanaan 500 000 unit rumah mampu milik di seluruh negara sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe- 12) melibatkan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak pemaju perumahan swasta.\nKerajaan komited memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah. Oleh itu, KPKT memperkenalkan Home Ownership Programme (HOPE)\u00a0bagi melihat ekosistem yang lebih menyeluruh dalam penyediaan perumahan, pembiayaan perumahan serta program-program yang dapat membantu Keluarga Malaysia dalam pemilikan perumahan.\nMesyuarat mahu supaya\u00a0Bank Negara Malaysia (BNM) melihat kembali model pembiayaan perumahan supaya memudahkan pemilikan perumahan. Hal ini bagi memastikan institusi kewangan mempermudahkan pinjaman untuk B40 dan M40 membeli rumah PPR dan rumah mampu milik. Fokus diberi untuk pembelian terus dan rent to own (sewa untuk milik).\nSemua pihak perlu memainkan peranan supaya sasaran\u00a0SATU KELUARGA SATU RUMAH dapat direalisasikan. Untuk mencapai matlamat ini, Kerajaan Persekutuan akan memberikan subsidi, kerajaan negeri menyediakan tanah, manakala bank mempermudah pembiayaan bagi memastikan harga rumah PPR dan rumah mampu milik dapat dijual dengan harga yang berpatutan.\nDalam masa yang sama, kerajaan komited\u00a0 menyediakan rumah mampu milik untuk generasi muda\u00a0supaya mereka dapat memiliki kediaman sendiri.\nMesyuarat turut memberikan tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik di bandar kecil dan pinggir bandar untuk meningkatkan peluang golongan M40 membeli rumah.\nKebimbingan mesyuarat adalah pada kos bahan binaan seperti besi dan keluli yang semakin meningkat serta penguasaan kartel dalam industri pembinaan. Oleh itu, Menteri Perumahaan dan Kerajaan Tempatan dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) diarahkan supaya menangani perkara ini. Jika perkara ini berpunca daripada permit import (AP), mesyuarat mencadangkan supaya AP dibuka kepada semua.\nMPN juga\u00a0mendengar pembentangan oleh Khazanah Research Institute dan BNM berkenaan data semasa serta isu berbangkit dalam aspek perumahan rakyat serta akses kepada pembiayaan bagi perumahan mampu milik.\nMaklumat ini akan dijadikan asas\u00a0 kerajaan untuk menambah baik strategi penyediaan perumahan mampu milik serta pengukuhan polisi berkaitan." "Dialog Industri Agromakanan 2022 Perkukuh Jaminan Sekuriti Makanan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya\u00a0 \u2013 Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) terus komited memperkukuhkan agenda Sekuriti Makanan Negara dengan mengadakan program Sesi Dialog Industri Agromakanan 2022.\nDialog yang bertemakan \u201cPemodenan dan Produktiviti Menjamin Sekuriti Makanan\u201d diadakan bertujuan mengenal pasti isu sektor agromakanan, khususnya aspek sekuriti makanan dan mengambil langkah intervensi yang sesuai mengikut perkembangan semasa, menyeluruh serta holistik dalam usaha memperkasa sektor agromakanan negara.\nSelain itu, tema ini dilihat selaras dengan penekanan yang diberikan melalui pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 (2021-2030) yang antara lainnya memberikan penekanan terhadap pemodenan sektor pertanian yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.\nSebanyak 200 orang peserta secara fizikal dan 1000 orang secara webinar/Facebook Live hadir dan menyertai program dialog ini yang terdiri dalam kalangan pemain industri sektor agromakanan merangkumi subsektor padi, tanaman, ternakan, perikanan dan keseluruhan rantaian agromakanan meliputi persatuan-persatuan dan pemain industri yang terlibat sepanjang rantaian nilai sektor agromakanan seperti wakil pengeluar, syarikat peneraju, pengimport-pengimport dan pengeksport, serta wakil-wakil industri yang aktif terlibat dalam rangkaian pemasaran dan pemprosesan.\nSelain pemain industri sektor agromakanan, sesi dialog ini turut\nmelibatkan penglibatan daripada jabatan dan agensi di bawah MAFI serta jemputan daripada kementerian, jabatan dan agensi lain yang berkepentingan dalam sektor agromakanan.\n\u201cDialog Industri Agromakanan 2022 merupakan inisiatif MAFI, platform komunikasi dua hala secara terus bersama-sama pemain industri selaras dengan pendekatan whole of goverment dan whole of society untuk berkongsi idea, pandangan, cadangan dan hala tuju kerajaan selain mengeratkan kerjasama dan hubungan baik untuk MAFI terus memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat seiring dengan keperluan semasa, khususnya melalui golongan sasar seperti petani, penternak dan nelayan serta semua pemain industri di sepanjang rantaian nilainya,\u2019 ujar Dr. Ronald.\n\u201cSelain itu, inisiatif Dialog ini mampu mengenal pasti isu-isu sektor agromakanan, khususnya aspek sekuriti makanan sebelum langkah intervensi yang sesuai diambil mengikut perkembangan semasa, menyeluruh serta holistik dalam usaha untuk terus memperkasa sektor agromakanan serta menjamin sekuriti makanan,\u201c ujar Dr. Ronald.\nMenurut Dr Ronald, meninjau prestasi satu dekad yang lalu, sektor agromakanan terus mengekalkan daya tahan, dan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) terus meningkat daripada RM26.6 bilion pada tahun 2010 kepada RM51.3 bilion pada tahun 2020.\n\u201cNamun begitu, bagi memenuhi keperluan penduduk, negara pada hakikatnya masih perlu bergantung pada import beberapa komoditi makanan utama seperti beras, sayur dan daging untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi pada setiap masa,\u201c jelas beliau.\nTambah Dr Ronald, kita turut menghadapi cabaran perubahan iklim yang akan menjejaskan kemampanan sumber asli untuk aktiviti pertanian. Justeru, tahap penerimagunaan teknologi dan automasi dalam kalangan pengusaha perlu ditingkatkan, dilengkapi dengan pelaburan swasta serta penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi untuk memacu pertumbuhan sektor agromakanan.\nSesi libat urus awal dengan pemain industri diadakan untuk mengenal pasti isu-isu utama setiap subsektor dan cadangan penyelesaiannya. Antara isu yang dibangkitkan adalah berkaitan dengan subsidi/insentif, Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB), pengurusan tanaman padi, pendekatan teknologi Integrated Pest Management, pembangunan industri sarang burung walit, pembangunan industri hiliran, pengurusan buruh\nasing, pensijilan, tenaga buruh, lesen, kru asing, pengimportan, tanah Lesen Pendudukan Sementara (TOL), pemasaran dan kenaikan harga input, makanan dan peralatan.\nPandemik COVID-19 dan bencana banjir menguji daya tahan sistem makanan negara dalam mengatasi kejutan ekonomi dan ketidaktentuan. Aktiviti pengeluaran makanan juga tidak dapat dilaksanakan secara optimum akibat\u00a0 kekangan masa dan tenaga kerja yang mengakibatkan kerugian besar. Kesan limpahan terhadap keseluruhan rantaian sistem makanan dan sekuriti makanan negara sehingga menyaksikan banyak norma baharu terpaksa dilaksanakan dan pendekatan baharu diperlukan bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan makanan sepanjang masa.\nProgram Sesi Dialog dihadiri oleh Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) selaku panel sesi dialog. Turut serta sebagai panel dialog adalah YB Datuk Seri Haji Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri I MAFI, YB Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Haji Salleh, Timbalan\nMenteri II MAFI, dan Dato\u2019 Haslina binti Abdul Hamid, Ketua Setiausaha MAFI." "Inflasi Kekal Menyederhana Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan inflasi kekal menyederhana pada tahun 2022\u00a0 manakala inflasi teras juga berkemungkinan kekal sederhana pada tahun ini.\nGabenor Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata bank pusat akan terus berhati-hati terhadap perkembangan berterusan dalam permintaan dan tekanan kos selain terus terlibat secara aktif dengan pemain industri untuk memantau dinamik harga dengan teliti apabila keadaan ekonomi bertambah baik.\n\u201cKami menjangkakan perbelanjaan isi rumah terus menyokong pertumbuhan tahun ini. Pelonggaran langkah-langkah pembendungan dan pemulihan pasaran pekerjaan serta keadaan pendapatan merupakan faktor yang akan meningkatkan aktiviti penggunaan. \u201cBagaimanapun, perkembangan berkisar pandemik terutamanya jika penggunaan kapasiti penjagaan kesihatan mengalami tekanan berserta tekanan terhadap harga akibat kekangan bekalan mungkin boleh menjejaskan sentimen dan perbelanjaan sebenar.\u201c\nPada tahun 2021, purata inflasi keseluruhan ialah 2.5 peratus berbanding -1.2% pada tahun 2020 manakala inflasi teras mencatatkan purata sebanyak 0.7% daripada 1.1 peratus pada tahun 2020.\nNor Shamsiah turut mengetepikan kebimbangan Malaysia memasuki fasa hiperinflasi sambil menyatakan stagflasi ala-1974 tidak mungkin berlaku.\n\u201cSekiranya kita mengimbas kembali dalam tempoh 30 tahun lepas, kadar inflasi tertinggi yang kita pernah lihat ialah kira-kira 8.5% pada Julai-Ogos 2008 apabila harga minyak meningkat dua kali ganda kepada hampir USD150.00 setong daripada USD74.00 setong tahun sebelumnya.\u201c" "TEKUN Tambah baik Sistem Permohonan SPIM Dalam Talian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui agensinya TEKUN Nasional melancarkan Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) bagi membantu usahawan. Skim ini dibuka untuk permohonan dari 1 Januari hingga 15 Januari yang lalu, dengan dana yang diperuntukkan berjumlah RM200 juta.\nDato\u2019 Adam Abdul Ghani, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional berkata, \u201cSPIM merupakan pembiayaan kepada usahawan informal dan mikro sebagai suntikan modal pusingan untuk memulihkan dan memulakan semula perniagaan yang terjejas daripada wabak COVID-19 dan bencana banjir.\n\u201cMelalui SPIM, usahawan ditawarkan pembiayaan dengan nilai hingga RM10 000.00 tanpa caj keuntungan dengan tempoh bayaran balik hingga lima tahun dan moratorium selama 12 bulan. TEKUN Nasional menerima permohonan yang terlalu tinggi dalam masa singkat bagi pembiayaan SPIM ini. Dana yang sepatutnya untuk penyaluran setahun habis dalam tempoh dua minggu. Sebanyak 23 767 permohonan diterima dan hingga 8 Februari 2022, 15 880 permohonan diluluskan dengan nilai RM130.3 juta\u201d, tambah beliau.\nBeliau turut menjelaskan, \u201cBagi memastikan kelancaran permohonan SPIM, TEKUN Nasional mengambil langkah penambahbaikan dengan menaik taraf sistem permohonan dalam talian. Penambahbaikan tersebut perlu dilaksanakan bagi menampung bilangan permohonan yang terlalu tinggi. Walau bagaimanapun dalam proses tersebut, terdapat isu teknikal yang timbul dan menyebabkan berlaku kelewatan dalam memproses permohonan, kelulusan dan penyaluran pembiayaan.\u201d\nTEKUN cuba mengatasi isu ini secepat mungkin. Sebagai contohnya, pembiayaan dilaksanakan secara manual melalui cetakan cek yang diagihkan ke setiap Pejabat TEKUN Cawangan di seluruh negara. Hal ini demikian kerana penyaluran pindahan dana elektronik tidak dapat dilaksanakan kerana gangguan teknikal tersebut.\nMenurut beliau, hingga kini, TEKUN Nasional menyalurkan pembiayaan berjumlah RM105 juta kepada 12 774 orang usahawan di bawah SPIM melalui cetakan cek dan pindahan dana elektronik. \u201cPenyaluran pembiayaan ini dijangka dapat diatasi sepenuhnya selewatnya pada akhir bulan ini. Usahawan akan dihubungi oleh Pejabat TEKUN Cawangan untuk penyerahan cek pembiayaan.\u201d" "Desa Lestari Lonjak Pembangunan dan Pengupayaan Komuniti Kampung\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKepala Batas \u2013 Sebanyak 37 buah kampung di seluruh negara tersenarai dalam Program Desa Lestari di bawah inisiatif Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB, yang mula diperkenalkan pada tahun 2013. Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Program Desa Lestari diwujudkan untuk melonjakkan pengupayaan komuniti dalam merancang serta menjayakan pelaksanaan projek pembangunan di kampung.\n\u201cDesa Lestari adalah untuk memperkasa aktiviti ekonomi dan keusahawanan penduduk kampung melalui koperasi dengan membuka peluang pekerjaan baharu serta peluang peningkatan pendapatan kepada penduduk. Ia secara tidak langsung akan memajukan kampung yang menyertai program ini selain mengubah cara ke arah penggunaan teknologi digital dan kaedah yang lebih moden dan terkini dalam aktiviti ekonomi.\u201c\nBeliau berkata demikian dalam satu kenyataan media bersempena dengan Majlis Penyerahan Jentera Tani Program Desa Lestari kepada Koperasi Desa Cemerlang Air Melintas Besar, Kepala Batas Berhad di sini hari ini.\nJelas Mahdzir, kampung yang terpilih di bawah Program Desa Lestari akan menerima geran peruntukan bantuan pelaksanaan projek-projek ekonomi komuniti yang disalur melalui platform koperasi komuniti. Geran bantuan projek meliputi enam sektor utama ekonomi, iaitu pertanian, penternakan, pelancongan, perkhidmatan, pembuatan, dan peruncitan. \u201cDi Negeri Pulau Pinang misalnya, sebanyak sembilan buah kampung menerima geran bantuan di bawah program berkenaan dengan nilai setakat tahun 2020 adalah sebanyak RM7.03 juta.\nKampung Air Melintas Besar di Kepala Batas ini dipilih sebagai sebuah kampung Desa Lestari bagi menjalankan Projek Pertanian dengan jumlah geran yang diperuntukkan sebanyak RM752 300.00\n\u201cSaya berharap lebih banyak lagi kampung berusaha untuk menyertai program Desa Lestari ini dalam usaha membangunkan masyarakat di luar bandar seiring dengan perubahan zaman dan lanskap ekonomi dunia,\u201c kata Mahdzir." "Pembukaan Semula Sepenuhnya Vaccinated Travel Lane (VTL) antara Malaysia dengan Singapura\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) memaklumkan bahawa penjualan tiket bas dan penerbangan bagi inisiatif Vaccinated Travel Lane (VTL) antara Malaysia dengan Singapura (laluan udara dan darat) ini dibuka semula sepenuhnya, iaitu 100% daripada kapasiti bas dan penerbangan, berkuat kuasa serta-merta.\nKeputusan ini juga adalah berdasarkan penilaian risiko semasa dan persetujuan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Inisiatif VTL ini berjaya meningkatkan jumlah pengendalian penumpang antarabangsa dan seterusnya membantu meningkatkan sektor pelancongan dan ekonomi negara.\nHingga 14 Februari 2022, sebanyak \u00a0171 583 orang pengembara dari Singapura memanfaatkan insiatif ini. Penjualan tiket penerbangan akan dibuka dan berkuat kuasa serta-merta untuk perjalanan segera. Selain itu, kedua-dua bauh negara juga sedang mengadakan perbincangan lanjut untuk memperluas laluan\nVTL Melalui Udara\nPenjualan tiket penerbangan akan dibuka dan berkuat kuasa serta-merta untuk perjalanan segera. Selain itu, kedua-dua buahnegara juga sedang mengadakan perbincangan lanjut bagi memperluaskan laluan VTL Laluan Udara ke Pulau Pinang dan Kota Kinabalu untuk dilaksanakan tidak lama lagi.\nDalam hubungan ini, MOT melalui Malaysia Airports Holdings Berhad sedang menyediakan fasiliti ujian saringan COVID-19 dan kemudahan-kemudahan yang berkaitan di lapangan terbang yang berkaitan bagi menyokong pelaksanaan inisiatif tersebut kelak.\nVTL Laluan Udara ke Pulau Pinang dan Kota Kinabalu untuk dilaksanakan tidak lama lagi. Dalam hubungan ini, MOT melalui Malaysia Airports Holdings Berhad sedang menyediakan fasiliti ujian saringan COVID-19 dan kemudahan-kemudahan yang berkaitan di lapangan terbang yang berkaitan bagi menyokong pelaksanaan inisiatif tersebut kelak.\nVTL Melalui Darat\nPenjualan tiket bas akan disambung semula berkuatkuasa serta-merta tetapi hanya untuk perjalanan bermula 22 Februari 2022 dan seterusnya. Diharapkan inisiatif ini dapat memanfaatkan rakyat serta merancakkan sektor pelancongan dan terus memacu pertumbuhan ekonomi bagi kedua-dua buah negara. Pada masa yang sama, semua pihak diingatkan supaya tidak alpa dan leka dalam mematuhi segala peraturan atau Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan demi kebaikan diri serta insan tersayang di sekeliling." "Puisi untuk Penyakit Kencing Manis?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSINGAPURA \u2013 Menurut perangkaan pada tahun 2020, sebanyak 14.4 peratus orang Melayu menderita penyakit kencing manis di Singapura berbanding dengan kaum India yang mencatatkan peratusan kedua tertinggi, iaitu sebanyak 14.2 peratus dan 8.2 peratus pula diikuti oleh kaum Cina. Penyakit kencing manis juga dipercayai menjadi punca utama kaum Melayu mengalami kegagalan ginjal.\nSehubungan dengan itu, pelbagai pihak sama ada dari agensi kerajaan, agensi swasta mahupun persatuan telah melakukan pelbagai usaha untuk memerangi penyakit kencing manis dalam kalangan rakyat Singapura. Antaranya termasuklah Persatuan Diabetes Singapura dengan kerjasama Angkatan Sasterawan \u201950 (Asas \u201950), yang menganjurkan Peraduan Menulis Puisi 2021, yang bertemakan \u201cPenyakit Kencing Manis dalam Kalangan Masyarakat Melayu\u201d.\nInisiatif ini diambil sebagai satu cara untuk mendampingi dan menggalakkan masyarakat Melayu untuk memerangi dan mencegah penyakit kencing manis kerana mereka lebih cenderung menghidapnya berbanding dengan kaum lain. Yang menariknya, puisi yang dihasilkan mestilah dalam bahasa Melayu. Pertandingan ini terbuka kepada tiga kategori mengikut peringkat usia. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 15 April 2021 dan butiran lanjut mengenai pertandingan ini boleh didapati di laman Facebook Diabetes Singapore." "Perihal Kata Majmuk\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMenurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, proses pemajmukan ialah proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna yang khusus (2015: 72). Selain itu, kata nama majmuk terhasil daripada proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa maksud tertentu (2015: 133).\nDari segi penggunaannya, kata majmuk mendukung makna yang khusus atau makna yang berbeza daripada maksud kata dasarnya. Sila lihat contoh yang berikut:\nair \u2013 sebarang air\nair hujan, air kumbahan, air mata \u2013 air yang khusus (sejenis air)\njam \u2013 sebarang jam\njam tangan, jam dinding, jam randek \u2013 jam yang khusus (sejenis jam)\ngaris \u2013 sebarang garis\ngaris pusat \u2013 diameter (istilah)\n\u00a0\ni. Kata majmuk kiasan atau simpulan bahasa\nlipas \u2013 sejenis serangga\nlipas kudung \u2013 maksud kiasan\nlidah \u2013 sejenis organ\nlidah biawak \u2013 maksud kiasan\nii.\u00a0 Kata majmuk yang berbeza maknanya daripada maksud kata dasarnya\nsetia + usaha \u2013 setiausaha\nkaki + tangan \u2013 kakitangan\n\u00a0\nPenentuan kata majmuk tertakluk pada kriteria yang berikut:\ni. Frasa (dapat diselitkan kata hubung relatif \u201cyang\u201d)\ncuaca sejuk/dingin/kering \u2013 cuaca yang sejuk/dingin/kering\nbangunan tinggi \u2013 bangunan yang tinggi\nii. Kata majmuk\nmusim sejuk/dingin \u2013 satu musim khusus di kawasan beriklim sederhana\nperang dingin \u2013 perselisihan yang tidak menggunakan kekerasan senjata (kata majmuk kiasan)\nikan kering \u2013 ikan yang telah dijemur sehingga kering (setelah dibubuh garam, dan lain-lain)\nkuih kering \u2013 sejenis kuih yang dibuat daripada tepung pulut dan telur (digoreng dan disira)\nlompat tinggi/jauh \u2013 nama acara padang\n\u00a0\n2.\u00a0 Pada umumnya, kata dasar bagi kata majmuk tidak boleh diselangi oleh kata hubung \u201cdan\u201d, \u201catau\u201d dan \u201cyang\u201d. Rangkaian kata yang dapat diselitkan dengan kata-kata hubung tersebut merupakan frasa.\nibu bapa \u2013 ibu dan bapa\ntua muda \u2013 tua dan muda, tua atau muda\norang muda \u2013 orang yang muda\n\u00a0\nKata-kata lain yang dapat diselitkan di antara kata dasar kata majmuk tidak menidakkan bentuk katanya sebagai kata majmuk.\nair sungai \u2013 air di sungai, air dari sungai\njam dinding \u2013 jam pada dinding\njam tangan \u2013 jam yang dipakai pada tangan\njubin lantai/dinding \u2013 jubin untuk atau pada lantai/dinding\norang kelainan upaya \u2013 orang dengan kelainan upaya\nwad bersalin \u2013 wad untuk wanita bersalin\n\u00a0\n3.\u00a0 Kecualian \u2013 ada juga kata majmuk yang asalnya merupakan frasa yang dapat diselitkan dengan kata hubung \u201cyang\u201d tetapi kata hubung itu telah digugurkan oleh masyarakat untuk menghasilkan kata majmuk istilah yang bermakna khusus.\nkebal \u2013 tidak dapat ditembusi (dilukai) oleh senjata (peluru dan lain-lain), tidak lut\nkereta kebal \u2013 asalnya \u00a0kereta yang kebal, iaitu kenderaan perang yang buatannya teguh dan tidak mudah untuk dimusnahkan (tank)\nbilik kebal \u2013 asalnya bilik yang kebal, iaitu bilik yang binaannya teguh dan tidak mudah untuk dicerobohi (strong room)\nmeja bulat \u2013 meja yang bulat (frasa)\nmeja bulat \u2013 perundingan (perbincangan) atau cara berunding yang menggunakan meja bulat untuk melambangkan para peserta mempunyai kedudukan atau taraf yang sama (kata majmuk)\nDari aspek morfologi, rumus umum untuk membezakan kata majmuk daripada frasa adalah seperti yang berikut:\na. Rumus Umum untuk Kata Majmuk\n1. a + b = a (b)\ni. a, b: dua kata dasar atau lebih\nii. Ada perkaitan makna antara kata dasar dengan kata majmuk. Simbol \u201ca\u201c ialah inti atau kata utama, manakala simbol \u201cb\u201c ialah penerang atau kata yang memberikan keterangan lanjut tentang inti (a).\niii. Maksud kata majmuk lebih khusus daripada kata dasar.\niv. Contoh kata majmuk:\nRangkaian kata bebas: air hujan, jam tangan, balai polis\nIstilah: garis pusat, sudut sepadan\nKata majmuk serangkai: kerjasama, warganegara\nv. Pada umumnya, kata hubung \u201cdan\u201d, \u201catau\u201d atau \u201cyang\u201d tidak boleh diselitkan di antara kata dasar.\nvi. Meliputi kata majmuk rangkaian kata bebas, istilah, dan sesetengah kata majmuk serangkai.\nvii. Termasuk kata dasar yang mempunyai morfem terikat, misalnya morfem terikat tani dalam kata majmuk pasar tani, usahawan tani dan pelancongan tani.\nviii. Mencakupi kata dasar yang mempunyai singkatan, seperti singkatan dulu dalam kata majmuk bunga dulu jantan/betina dan singkatan tak dalam kata majmuk kata kerja tak transitif dan kata bilangan tak tentu.\ni. a, b: dua kata dasar atau lebih\nii. Tiada perkaitan makna antara kata dasar (a, b) dengan kata majmuk (c).\niii. Meliputi kata majmuk kiasan (simpulan bahasa) dan sesetengah kata majmuk serangkai.\niv. Contoh kata majmuk:\nKata majmuk kiasan: bulan madu, tangkai jering\nKata majmuk serangkai: setiausaha, kakitangan\n\u00a0\n* Semua kata nama/adjektif majmuk merupakan frasa nama /adjektif dalam bidang sintaksis.\n\u00a0\nb. Rumus Umum untuk Frasa\na + b = a + ( \u00a0) + b\ni. a, b: deretan dua kata atau lebih, ( ) ialah kata hubung tertentu yang boleh diselitkan.\nii. Kata hubung gabungan dan, atau atau kata hubung relatif yang boleh diselitkan dalam deretan katanya.\niii. Contoh frasa:\nibu bapa, teruna dara, turun naik, jatuh bangun, cantik molek, pahit manis, rumah baharu, kereta cantik\nSelain rumus umum di atas, terdapat beberapa pertimbangan tambahan yang harus diambil kira:\nlaut biru (frasa), biru laut (kata majmuk)\ncili merah (frasa), merah cili (kata majmuk)\ntangan panjang (frasa), panjang tangan (kata majmuk kiasan)\nKata majmuk seperti biru laut dan merah cili merupakan warna khusus. Dalam hal ini, kata sendi nama seperti yang boleh diselitkan di antara kata dasarnya telah digugurkan. Frasa tangan panjang ialah keadaan semula jadi, manakala panjang tangan bererti sifat suka mencuri.\n\u00a0\ni. Frasa\nPusat beli-belah itu dihiasi lampu pelbagai warna, termasuk lampu hijau, lampu merah, dan sebagainya.\nii. Kata majmuk\na. Dia mendapat lampu hijau untuk melaksanakan projek itu.\nMaksud lampu hijau: kebenaran\nb. Polis membuat serbuan mengejut di kawasan lampu merah bandar itu.\nMaksud kawasan lampu merah: tempat yang banyak berlaku gejala sosial atau jenayah\n\u00a0\niii. Pada umumnya, susunan kata dasar dalam kata majmuk mengikut hukum D-M (unsur yang diterangkan mendahului unsur yang menerangkannya) tetapi ada juga kecualiannya.\na. Mengikut hukum D-M:\nkanta tangan, tayangan perdana, telefon dail terus, menteri muda, warganegara\nb. Kecualian: naib pengerusi, perdana menteri, timbalan menteri, bumiputera\nc. Susunan unsur dalam kata majmuk kiasan:\n\u00a0\nKata adjektif dahulu: ringan tulang, terang hati\nKata nama dahulu: hidung tinggi, darah panas" "MAFI Sasar Pelaburan RM350 Juta Minggu Pertanian Lestari Ekspo Dubai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pertanian dan Industri Makanan\nMalaysia (MAFI) komited untuk mencapai sasaran pelaburan bernilai RM350 juta sepanjang Minggu Pertanian Lestari di EXPO 2020 Dubai. MAFI sebagai hos akan meneraju tema minggu itu di Pavilion Malaysia dari 21 Februari hingga 26 Februari 2022 dengan Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) sebagai agensi pelaksana.\nMenteri Pertanian dan Industri Makanan, Yang Berhormat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata MAFI sedang berusaha keras untuk mencapai sasaran pelaburan tersebut dengan memupuk hubungan dan perkongsian strategik bersama-sama para pemain global, terutamanya Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan negara-negara Timur Tengah bagi memacu pertanian lestari untuk kebaikan Malaysia dan dunia.\n\u201cKami akan mengadakan 11 pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman, 50 potensi perniagaan, serta penyertaan daripada 20 PKS tempatan dan jabatan serta agensi di bawah MAFI pada minggu ini. Inilah peluang menarik untuk kami menampilkan amalan pertanian terbaik, inovasi pintar, dan sumber asli kaya di Malaysia yang menyumbang kepada keselamatan makanan, penjanaan kekayaan, perlindungan alam sekitar, dan mata pencarian yang mampan,\u201d kata beliau.\nBeliau menambah bahawa ekspo itu adalah peluang terbaik untuk meningkatkan hubungan dua hala dan perdagangan antara Malaysia dan UAE melalui pembangunan pertanian lestari. Kedua-dua negara bersedia untuk memanfaatkan kekuatan masing-masing bagi meningkatkan usaha pertanian lestari ke peringkat yang lebih tinggi.\nMAFI dijangka menarik kira-kira 2000 orang pelawat dan delegasi sepanjang Minggu Pertanian Lestari melalui pelbagai program dan aktiviti, seperti pameran, pelancaran produk, pertukaran dokumen, demonstrasi masakan dan produk, koktel\nrangkaian, padanan perniagaan dan ceramah poket. Kandungan program-program itu akan dijalankan berdasarkan lapan bidang tumpuan yang menampilkan kekuatan Malaysia dalam pertanian lestari, termasuklah kesejahteraan daripada biodiversiti, buah-buahan tanah tropika dan hasil sampingannya, pertanian bandar pintar, penyelesaian pertanian pintar, sisa kepada kekayaan, masakan lestari, teknologi dan penyelesaian pertanian terkini, serta peluang pelaburan untuk kelestarian pertanian." "Kerajaan Salur RM20.339 Bilion kepada 357 520 Majikan Melalui PSU\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u00a0Kerajaan secara keseluruhannya telah menyalurkan sebanyak RM20.339 bilion kepada 357 520 majikan melalui Program Subsidi Upah (PSU) bagi mengekalkan penggajian 2953 741 pekerja tempatan dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.\nMenteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata setakat 4 Feb 2022, sebanyak RM14.643 juta telah disalurkan kepada 1482 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian 24 405 pekerja.\nPeruntukan sebanyak RM600 juta di bawah Bajet 2022, kerajaan melalui PERKESO akan meneruskan pelaksanaan PSU bersasar kepada pengusaha pelancongan yang mengalami penurunan pendapatan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada jumlah jualan atau pendapatan pada Oktober 2021 hingga Disember 2021 berbanding mana-mana bulan pada 2019 hingga 2021 sebelum pandemik COVID-19.\n\u201cPermohonan telah dibuka sejak 1 Jan 2022 hingga 31 Mac 2022 namun majikan dari sektor dan aktiviti industri yang tidak tersenarai tetapi masih terjejas akibat COVID-19 masih boleh mengemukakan rayuan secara dalam talian kepada PERKESO,\u201c katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-84 yang dikeluarkan hari ini. Beliau berkata untuk maklumat lanjut, boleh layari https://www.perkeso.gov.my/bajet-2022/sip-bajet-2022.html.\nBagi PSU 4.0, Tengku Zafrul berkata setakat 4 Feb 2022, sebanyak RM2.270 bilion telah disalurkan kepada 146,519 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian 1755 737 pekerja. Kerajaan melaksanakan PSU 4.0 dengan peruntukan sebanyak RM3.8 bilion yang dijangka memanfaatkan 2.5 juta pekerja. \u201cHad gaji RM4,000 juga telah dilonggarkan yang membolehkan majikan memohon PSU 4.0 bagi pekerjanya yang bergaji lebih daripada RM4000.\u201c\nMengenai Dana Pinjaman Mudah Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), katanya jumlah permohonan yang telah diluluskan oleh bank tempatan dan disetuju terima oleh PKS setakat 4 Feb 2022, sebanyak RM12.59 bilion yang akan memberi manfaat kepada 26 379 PKS. Jumlah ini termasuk dana Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Kemudahan Automasi dan Pendigitalan (ADF), Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES) dan Kemudahan Agromakanan (AF). Tengku Zafrul berkata walaupun dana SRF telah dimanfaatkan sepenuhnya, PKS masih boleh memohon skim pembiayaan yang masih tersedia melalui Tabung BNM seperti ADF, AES dan AF.\nPKS juga boleh mendapatkan pembiayaan lain melalui platform imSME di pautan https://imsme.com.my/portal/bm/ yang boleh membantu dalam membuat padanan pembiayaan yang diperlukan dengan pelbagai penyedia dana untuk PKS." "CAAM Pantau Mitigasi Risiko Keselamatan Penerbangan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Insiden yang melibatkan penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah pada 11 Februari 2022 baru-baru ini apabila seekor ular ditemui di dalam pesawat, telah selamat dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak mengikut prosedur keselamatan yang diperlukan.\nKementerian Pengangkutan Malaysia (MOT)\u00a0 berhubung rapat dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengenai perkara ini. Pengawal selia keselamatan dan teknikal menguruskan perkara ini dengan baik dengan syarikat penerbangan tersebut mengikut semua prosedur dan peraturan keselamatan.\nSetiap syarikat penerbangan mematuhi semakan prapenerbangan yang ketat sebagai sebahagian daripada keperluan dan Prosedur Operasi Standard. Sehubungan dengan itu, CAAM akan terus memantau situasi dengan pengurusan syarikat penerbangan untuk memastikan segala mitigasi risiko diuruskan dengan sewajarnya.\nCAAM tidak akan berkompromi dalam sebarang isu yang boleh\nmenjejaskan keselamatan operasi syarikat penerbangan." "Petua Elak Tindakan Mahkamah Akibat Cukai Tertunggak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSepanjang tahun 2021 pelbagai pengalaman pahit dan manis kita rasai. Tahun 2021 juga menyaksikan negara kita masih bergelut dengan tekanan ekonomi akibat daripada situasi pandemik COVID-19 yang berlarutan. Sebagai rakyat kita turut tidak terkecuali daripada menerima tempias kepada keperitan ekonomi negara. Pada masa ini ramai dalam kalangan kita merancang untuk mengatur semula perbelanjaan bulanan agar dengan pendapatan atau keuntungan perniagaan yang ada kita boleh terus meneruskan kelangsungan kehidupan atau perniagaan pada masa hadapan.\nDalam kita mengatur semula perbelanjaan tersebut, ada yang terus mengabaikan bayaran cukai yang sepatutnya dibuat kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL). Akibatnya, baki cukai kita akan tertunggak dan risiko kita dikenakan tindakan mahkamah adalah tinggi. Sekiranya tindakan mahkamah diambil terhadap kita, maka hal ini bukan sahaja akan menjejaskan imej kita, malah hal ini mungkin akan menambahkan beban kita kerana terpaksa mengupah peguam bagi mempertahankan diri.\nPetua dalam artikel ini boleh dijadikan panduan agar kita dapat menguruskan perihal cukai kita dengan baik sekali gus mengelakkan diri kita mempunyai tunggakan cukai dan dikenakan tindakan mahkamah.\nPeka dan ambil peduli peruntukan undang-undang berkaitan dengan cukai\nJika kita benar-benar peka, ambil peduli dan tidak ambil remeh tentang cukai, hal tunggakan cukai hingga kita dikenakan tindakan undang-undang tidak akan terjadi. Apa yang kita perlu lakukan ialah cakna dengan segala peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan oleh Kerajaan. Seperti yang ditetapkan oleh undang-undang, bagi individu yang tidak mempunyai punca pendapatan perniagaan yakni yang makan gaji sahaja, mereka perlu melunaskan cukai tahunan mereka selewat-lewatnya pada 30 April setiap tahun. Manakala, bagi individu yang berniaga, mereka dikehendaki menjelaskan semua amaun cukai tahunan mereka selewat-lewatnya pada 30 Jun setiap tahun. Sementara itu, bagi syarikat pula mereka wajib membayar semua amaun cukai mereka dalam tempoh tujuh (7) bulan selepas tarikh tutup tempoh perakaunan syarikat. Jadi, jika tempoh-tempoh ini tidak dipatuhi maka amaun cukai yang dikenakan terhadap kita berkemungkinan besar akan menjadi cukai tertunggak.\nRujuk banyak maklumat berkenaan cukai yang banyak terdapat di portal rasmi HASiL dan internet.\nPelbagai maklumat berkaitan dengan cukai pendapatan ada dimuatkan dalam portal rasmi HASiL di www.hasil.gov.my untuk rujukan. Malah, melalui portal rasmi ini, HASiL menyediakan Gerbang Pendidikan Percukaian melalui platform Eduzone. Platform Eduzone bukan sahaja memuatkan pelbagai risalah dan artikel berkaitan dengan percukaian, malah ia turut dilengkapi dengan pelbagai video pendek dan video-video wawancara pegawai HASiL dengan pihak media yang berbentuk penerangan dan boleh dimanfaatkan oleh kita sebagai pembayar cukai.\nSelain daripada portal rasmi HASiL, maklumat percukaian juga boleh dirujuk di platform media sosial rasmi HASiL dan portal firma percukaian bertauliah yang sememangnya pakar dalam bidang percukaian.\nSebolehnya elakkan untuk membuat rujukan dengan maklumat yang dikongsi di media sosial yang tidak diiktiraf. Hal ini kerana dikhuatiri maklumat yang dipaparkan dalam media sosial tersebut adalah kurang tepat dan terpesong.\nHubungi HASiL untuk dapatkan maklum balas dan khidmat nasihat\nBagi memastikan kita mendapat maklum balas sahih dan nasihat yang tepat, kita boleh menghubungi pegawai perhubungan pelanggan HASiL di talian 03-89111000 atau\n603-89111100 bagi panggilan dari luar negara. Jangan sesekali merujuk\u00a0 pihak yang tidak pakar kerana ia hanyalah umpama kita bertanya mengenai rawatan dan perubatan kepada arkitek dan bukannya kepada seorang doktor. Dikhuatiri isu percukaian kita tidak akan selesai, malah akan menjadi lebih celaru.\nSeandainya talian khidmat pelanggan HASiL ini terlalu sibuk, kita masih lagi mempunyai pilihan untuk menghubungi pegawai-pegawai yang telah diberi tanggungjawab melayani pertanyaan pembayar cukai yang mana nombor-nombor telefon bimbit rasmi mereka ada disiarkan dalam portal rasmi LHDNM. Selain itu, pelbagai saluran komunikasi lain seperti HASiL Live Chat, Facebook, Twitter, Instagram, dan Borang Maklum Balas Pelanggan turut disediakan oleh HASiL untuk kita manfaatkan.\nSemak kedudukan cukai kita melalui MyTAX\nLakukan semakan dengan HASiL sekerap mungkin bagi mengelakkan kita terbeban dengan cukai tertunggak. Kini HASiL telah menyediakan kaedah semakan yang mudah iaitu melalui aplikasi MyTax yang boleh dibuat secara dalam talian dan di hujung jari sahaja. MyTax bukan sahaja satu aplikasi yang membolehkan kita membuat semakan cukai, malah lebih daripada itu MyTax juga merupakan one stop centre bagi pembayar cukai untuk mengisytiharkan cukai mereka dan mendapatkan informasi cukai yang terkini.\nBincang dengan HASiL untuk ansuran cukai\nHASiL sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan jika kita tidak mampu membayar amaun cukai secara sekali gus. Bagi HASiL kaedah bayaran secara ansuran masih boleh dipertimbangkan, namun ia hendaklah mendapat kelulusan terlebih dahulu. Maknanya, kita tidak boleh mengambil keputusan sendiri dengan membuat bayaran amaun cukai kita sedikit demi sedikit tanpa persetujuan pihak HASiL.\nBagi tujuan ini, biasanya kita dikehendaki menyediakan dokumen-dokumen seperti penyata aliran tunai bulanan, penyata bank beberapa bulan terkini, senarai komitmen bulanan kita dan bilangan ansuran yang ingin kita cadangkan. Bukan setakat ansuran sahaja boleh dibincangkan, malah kita juga boleh membuat rayuan atas kenaikan cukai yang dikenakan terhadap kita dan rayuan akan dipertimbangkan oleh HASiL berdasarkan kepada merit setiap kes. Jadi, tiada lagi alasan untuk kita tidak menghubungi HASiL dan melakukan perbincangan dengan mereka berkenaan bayaran cukai kita.\nPendek kata, seperti mana yang sering diperkatakan oleh netizen pada masa ini, \u201cBenda boleh bincang, buat apa nak kecoh-kecoh!\u201c HASiL bersedia untuk mendengar permasalahan kita dalam melunaskan tunggakan cukai dan seterusnya mencadangkan jalan penyelesaiannya.\nKesimpulannya, tunggakan cukai tidak akan berlaku seandainya kita sentiasa ambil peduli tentang hal ehwal percukaian kita. Jangan bimbang untuk berbincang dengan HASiL sekiranya kita tidak mampu untuk melunaskan semua cukai kita dengan segera, sebaliknya hubungilah HASiL dan ambil inisiatif untuk berbincang kaedah ansuran yang terbaik. Ingatlah bahawa cukai yang kita bayar amat diperlukan kerana cukai akan digunakan oleh Kerajaan untuk manfaat segenap lapisan rakyat. Melalui duit cukai ini pelbagai kemudahan dan program pembangunan serta kebajikan rakyat dapat dilaksanakan.\nRakyat Malaysia ini bertuah, kerana dengan adanya cukai, Kerajaan mampu menyediakan berbilion-bilion ringgit dana bantuan terutamanya apabila berlakunya pandemik COVID-19 dan bencana alam. Semuanya adalah bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terbela. Terima kasih pembayar cukai! Kerana sumbangan anda, rakyat Malaysia sejahtera.\n\u00a0\nDisediakan oleh:\nBahagian Komunikasi\nPejabat Ketua Pegawai Eksekutif\nHASiL" "e-PEMBAYARAN TONGGAK EKONOMI DIGITAL\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSejak sekitar sedekad yang lalu, Malaysia telah menyaksikan pembangunan dan penggunaan sistem pembayaran elektronik (e-pembayaran) yang lebih meluas di kalangan pengguna dan peniaga. Terdahulu secara amnya, masyarakat hanya mempunyai dua pilihan; iaitu sama ada transaksi secara tunai, atau kad kredit. Ini menjadikan kad kredit sebagai medium utama untuk sebarang transaksi tanpa tunai sebelum ini.\nGelombang e-pembayaran di Malaysia dilihat bermula dengan inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) apabila ia mengeluarkan Rangka Kerja Pembaharuan Kad Pembayaran yang dilaksanakan secara berperingkat dari 15 Januari 2015. Menerusi rangka kerja ini, BNM dilihat mempromosikan penggunaan kad debit yang dipercayai dapat memanfaatkan pengguna kerana sistemnya yang mudah, serta lebih kos efektif.\nSeterusnya, sistem e-pembayaran di Malaysia terus berkembang ekoran trend e-dompet (e-wallet) yang dipopularkan oleh AliPay dan WeChat Pay di China. Industri mula dilimpahi dengan pemain-pemain industri teknologi kewangan lain yang tidak mahu ketinggalan. Antara nama besar dalam e-pembayaran di Malaysia termasuklah Boost, Touch \u2018n Go, e-Wallet, BigPay, GrabPay, ShopeePay, dan MAE.\nBerbanding mod transaksi tanpa tunai lain, e-dompet kini meraih populariti yang lebih dalam kalangan pengguna atas beberapa faktor. Pertama, dompet elektronik berfungsi dengan menggunakan aplikasi di telefon mudah alih \u2013 yang merupakan alat utama yang sangat penting kepada semua orang di zaman ini. Malahan, ada yang mengatakan bahawa kita tidak kisah jika tertinggal dompet di rumah, tetapi kebanyakan antara kita akan berpatah balik ke rumah sekiranya tertinggal telefon bimbit.\nSelain itu, operator dompet elektronik juga bijak memplebagaikan fungsi aplikasi mereka agar dapat menarik perhatian lebih ramai pengguna, terutamanya di kalangan pengguna dari generasi milenium. Antaranya, kempen pulangan tunai (cashback), mata ganjaran (reward points), dan permainan atau cabaran harian atau mingguan yang menjanjikan lebih ganjaran. Malahan, kolaborasi operator dompet elektronik dengan beberapa jenama terkenal juga mampu menarik lebih ramai pengguna..\nTidak dinafikan bahawa tempoh pandemik Covid-19 juga telah memainkan peranan untuk mempercepat proses transformasi daripada transaksi tunai kepada transaksi tanpa tunai. Mungkin tidak pernah terlintas di fikiran kita sebelum ini untuk melihat gerai-gerai kecil di tepi jalan turut menggunakan pelbagai peranti moden yang membolehkan mereka menjalankan perniagaan hibrid \u2013\u00a0 gabungan fizikal dan atas talian. Perlu diingatkan bahawa segala transaksi e-dagang ini tidak mungkin berjaya tanpa kemajuan sistem e-pembayaran.\nTerkini, jaringan lebuh raya oleh syarikat konsesi Projek Lebuh raya Utara-Selatan (PLUS) Expressway Berhad juga telah memperkenalkan sistem pembayaran tol yang menggabungkan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dengan sistem dompet elektronik oleh Touch \u2018n Go bagi memastikan operasi yang lebih mudah dan lancar. Walau bagaimanapun, hal ini menimbulkan sedikit kegusaran dalam kalangan pengguna jalan raya apabila penggunaan sistem MyRFID itu telah mengakibatkan kesesakan jalan raya teruk di sekitar Lembah Klang. Rata-rata pengguna meluahkan kekesalan dengan tindakan syarikat konsesi tersebut yang gagal menangani kegagalan sistem myRFID di plaza-plaza tol yang berkenaan.\nUsaha PLUS menyediakan sistem pembayaran digital yang berpaksikan teknologi RFID itu perlu diberi kredit, kerana secara teori ianya dapat memberi banyak manfaat kepada pengguna. Walau bagaimanapun, proses pelaksanaannya perlu memfokuskan aspek teknikal bagi memastikan kesediaan sistem untuk beroperasi dengan lancar tanpa sebarang masalah yang signifikan.\nPeningkatan penggunaan perbankan Internet, perbankan mudah alih, dompet elektronik dan sebagainya dalam pelbagai urusan harian menunjukkan bahawa populasi di Malaysia sudah semakin selesa menggunakan teknologi kewangan (fintech). Statistik terkini oleh Bank Negara Malaysia menunjukkan peningkatan drastik bagi e-pembayaran merangkumi penggunaan kad kredit, kad caj, kad debit, dan wang elektronik bagi tempoh enam tahun dari 2016 ke 2021. Yang paling ketara ialah peningkatan transaksi yang menggunakan wang elektronik, iaitu meningkat daripada hanya RM7.7 bilion pada tahun 2016 kepada RM50.5 bilion pada tahun 2021. Hal ini diikuti oleh penggunaan kad debit, iaitu daripada RM22.6 bilion kepada RM78.2 bilion pada tempoh yang sama.\nTransformasi digital dilihat mampu memacu ekonomi negara bagi mencapai aspirasi Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi. Seiring dengan revolusi ekonomi digital, negara juga perlu pantas mengikuti perkembangan teknologi sistem e-pembayaran serta peranti pemprosesan pembayaran. Zaman ini bukan lagi zaman yang besar mengalahkan yang kecil; tetapi kini zaman yang pantas mengalahkan yang lambat. Maka, dengan peningkatan kemajuan semasa, semoga kita terus progresif dan terus berada di trajektori yang betul untuk mencapai aspirasi negara.\nDr. Nurul Afidah Mohamad Yusof ialah Penolong Profesor di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Kewangan, Universiti Tunku Abdul Rahman." "Potensi Sektor Pertanian Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM21 000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Jamek Beseri. Mereka menerima sumbangan sebanyak RM700 setiap seorang.\nBaginda bertitah bahawa golongan belia perlu sentiasa diberikan dorongan untuk menyertai sektor pertanian secara komersial kerana sektor ini mempunyai potensi yang besar dan menguntungkan negara.\nSelain itu, penglibatan golongan belia juga diharap dapat mentransformasikan sektor pertanian dengan penggunaan teknologi automasi, pendigitalan dan pertanian pintar untuk memajukan sektor pertanian di negara ini.\nTambah baginda lagi, golongan muda perlu menjadikan negara Taiwan dan Belanda sebagai contoh dalam sektor pertanian.\nWalaupun negara tersebut mempunyai tanah yang terhad, tetapi mereka berjaya menjadi negara pengeluar produk pertanian yang dikenali di seantero dunia.\nSehubungan dengan itu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap agar agensi yang berkaitan mengambil tindakan proaktif dan berganding bahu untuk mengembalikan kegemilangan sektor pertanian dengan menerokai sumber tanaman baharu yang berpotensi untuk dikomesialkan." "Ekonomi Haiwan Peliharaan China: Kucing Menguasai Internet?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMereka juga mungkin memerintah China. Hasil tinjauan secara dalam talian mendapati kucing menjadi rakan popular kepada golongan muda pemilik haiwan peliharaan berbanding dengan anjing.\nEkonomi haiwan peliharaan China kini berkembang pesat apabila lebih banyak rakyat China menangguhkan hasrat untuk berkahwin dan memiliki anak demi \u201cbayi atau anak berbulu\u201d. Para pemilik haiwan peliharaan ini mempunyai beberapa persamaan, iaitu dalam kalangan mereka masih muda, berpendidikan tinggi dan berpendapatan tinggi.\nPasaran haiwan peliharaan di China dianggarkan bernilai 298.8 bilion yuan (USD46 bilion) pada tahun 2020, meningkat daripada 72.5 bilion yuan pada tahun 2015. Lebih daripada 70% pemilik haiwan peliharaan dalam tinjauan baru-baru ini berkata mereka memiliki kucing berbanding hanya 40% yang mengatakan mereka menternak anjing.\n\nBerdasarkan laporan portal berita China, Thepaper.cn, hasil tinjauan DT Business Data Company dan jenama produk haiwan kesayangan, Vetreska mendapati dalam kalangan 1392 orang responden yang mempunyai haiwan peliharaan, lebih 70% memelihara kucing, kadar tertinggi dalam kalangan semua pemilik haiwan peliharaan.\nFakta mengenai populariti kucing ini dikukuhkan dengan sensasi terkini seekor kucing baka British Shorthair di wilayah Fujian, China. Chan An atau Chef Chan An bintang popular YouTube, handal menyediakan minuman, memasak hidangan penuh dan juga membakar! Dengan kaki comel itu mengacau periuk, dan membalikkan telur.Pemilik Chang An mula menyiarkan video comel ini tentang kucingnya \u201cmemasak\u201c pada tahun 2019. Bukan sahaja setiap hidangan kelihatan sangat lazat, tetapi semuanya juga diceritakan dari sudut pandang seekor kucing." "Amerika Syarikat Menggantung Import Avokado Mexico\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMexico City \u00a0\u2013\u00a0 Amerika Syarikat (AS) menggantung import avokado dari Mexico pada malam Super Bowl LVI selepas pemeriksa keselamatan kilang AS menerima ancaman, lapor The Associated Press.\nPihak berkuasa kesihatan AS membuat keputusan itu selepas seorang pegawai mereka yang menjalankan pemeriksaan di Uruapan, Michoacan menerima mesej ugutan melalui telefon bimbit rasminya menurut Jabatan Pertanian Mexico dalam satu kenyataan.\nImport avokado digantung \u201chingga notis lanjut\u201c. Larangan itu dibuat semasa peluang jualan puncak dalam kalangan penanam avokado Mexico. Penggantungan ini akan memberikan sedikit kesan kepada jualan Super Bowl kerana avokado tersebut telah dihantar.\nIndustri eksport avokado Mexico menjadi mangsa pertempuran perang antara kartel dadah dengan peras ugut penanam avokado di negeri Michoacan, satu-satunya negeri Mexico yang diberi kuasa sepenuhnya untuk mengeksport avokado ke AS. Menurut kebanyakan penanam avokado di Michoacan, \u00a0kartel dadah mengancam mereka atau ahli keluarga mereka dengan penculikan atau kematian melainkan mereka membayar wang perlindungan yang boleh menelan kos hingga beribu-ribu dolar setiap ekar.\nPasukan pemeriksa daripada Department of Agriculture, Animal and Plant Health Inspection Services sebelum ini diancam oleh kartel tersebut pada bulan Ogos 2019, menyebabkan agensi tersebut mengeluarkan amaran mengenai tindakan yang mungkin akan dikenakan kepada pihak terbabit akibat menyerang atau mengancam pasukan pemeriksa AS." "Penganalisis Menjangkakan Momentum Pertumbuhan Positif Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Penganalisis optimis terhadap ekonomi Malaysia yang akan mencatat pertumbuhan lebih baik tahun ini. Impak daripada kejadian banjir yang berlaku akhir tahun lalu dan penggunaan yang lemah akan kembali pulih pada suku pertama ini, menurut CGS-CIMB Research.\nJelasnya, laporan khas yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kerugian yang dialami akibat banjir mencecah RM6.1 bilion, atau 0.4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).\nJika ini benar, katanya, maka KDNK suku pertama 2022 mungkin tidak begitu suram kerana kerugian tersebut boleh diimbangi dengan pembinaan semula ekonomi pasca bencana serta penyambungan semula permintaan terpendam secara keseluruhan.\nDi samping itu, pemberian subsidi makanan ruji dan bahan api oleh kerajaan pada suku pertama 2021 seharusnya mengurangkan tekanan inflasi yang semakin meningkat dan memastikan pertumbuhan penggunaan tidak terganggu.\n\u201cBagaimanapun, risiko peningkatan bilangan kes Omicron menimbulkan sedikit kelemahan kepada kami setakat ini,\u201c katanya dalam nota kajian hari ini.\nSecara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan unjuran KDNK tahun ini pada 5.6% dengan pertumbuhan suku pertama sebanyak 5.1%. Oleh itu, kami mengekalkan jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan dua kali kadar dasar semalaman (OPR) dengan 25 mata asas pada separuh kedua tahun ini,\u201c tambahnya.\nPada suku keempat 2021, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 3.6% apabila kegiatan ekonomi disambung semula berikutan pelonggaran langkah-langkah pembendungan COVID-19.\nBerikutan pertumbuhan yang kembali kukuh pada suku berkenaan,\u00a0 KDNK 2021 telah meningkat sebanyak 3.1% secara keseluruhan manakala kadar pengangguran menurun kepada 4.6%.\nKegiatan ekonomi yang kembali pulih dibantu oleh pemulihan pasaran pekerja dan sokongan dasar yang berterusan.\nSementara itu, MIDF Research berkata, ekonomi Malaysia kembali pulih dengan pertumbuhan 3.1% pada 2021 selepas mengalami kemerosotan paling teruk sejak Krisis Kewangan Global pada 2020 yang menguncup -5.6%.\n\u201cKeseluruhan tahun juga adalah lebih rendah daripada jangkaan kami pada 3.7% disebabkan pertumbuhan suku keempat yang lebih rendah daripada jangkaan. Namun, perkembangan pantas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan Pelan Pemulihan Negara telah mempercepatkan pembukaan semula sektor ekonomi,\u201c jelasnya.\nFirma itu bagaimanapun mengekalkan prospek pertumbuhan ekonomi yang lebih baik tahun ini pada 6% kerana pemulihan tahun lalu telah terjejas terutamanya penyebaran varian Delta dan penguatkuasaan sekatan penuh.\nPerbelanjaan domestik dijangka meningkat yang mendapat manfaat daripada pembukaan semula ekonomi dan pasaran pekerjaan yang bertambah baik.\n\u201cPerniagaan juga akan mengembangkan pengeluaran disokong permintaan yang meningkat. Pada masa sama, eksport akan terus meningkat terutama permintaan bagi produk elektrik dan elektronik (E&E), minyak sawit dan petroleum. \u201cWalaupun pandemik COVID-19 yang berterusan kekal sebagai risiko penurunan, tetapi kami berpendapat kerajaan tidak akan melaksanakan semula sekatan yang ketat di sebalik lonjakan semula jangkitan akibat varian Omicron.\u201c\nHong Leong Investment Bank (HLIB) Research\u00a0 pula menjangkakan momentum pertumbuhan positif akan berterusan sepanjang tahun ini memandangkan aktiviti ekonomi kembali normal.\nWalaupun wujud\u00a0ketidaktentuan akibat gangguan rantaian bekalan dan kekurangan bahan mentah dalam pengeluaran pembuatan, tetapi sektor tersebut masih diunjur menyokong pertumbuhan KDNK beserta pemulihan dalam sektor perkhidmatan di tengah-tengah pasaran buruh yang semakin baik dan pembukaan semula sempadan antarabangsa tanpa kuarantin wajib.\n\u201cMeskipun kewujudan wabak ini masih menyelubungi prospek ekonomi, tetapi pelancaran dos penggalak yang pantas dan kapasiti penjagaan kesihatan masih kekal terurus, dapat memberi sedikit penangguhan. Sehubungan itu, kami mengekalkan unjuran KDNK tahun ini pada 5.5% dengan kenaikan OPR pada 25 mata asas pada suku keempat tahun 2022 apabila ekonomi domestik semakin kukuh.\u201c" "Syarikat Malaysia Meterai Memorandum Persefahaman RM100 Juta\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDubai \u2013 Expo 2020 Dubai menyaksikan tiga Memorandum Persefahaman bernilai lebih RM100 juta ditandatangani antara tiga buah syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan tiga rakan niaga yang berpotensi dari Emiriyah Arab Bersatu atau United Arab Emirates (UAE). Tiga buah syarikat ini merupakan sebahagian daripada 17 perniagaan permulaan (startup) dan PKS Malaysia berprestasi tinggi yang menyertai delegasi Malaysia ke Expo 2020 Dubai \u2013 Minggu PKS Malaysia.\nSyarikat-syarikat tersebut ialah. Propeasy Sdn. Bhd dan Mahaley Marketing; Fario Holdings Sdn Bhd dan Miko Koffie NV of Belgium, dan Govicle Sdn Bhd dan Six Day Company LLC. Minggu PKS Malaysia di ekspo ini diketuai oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi \u00a0(MEDAC) menerusi agensi pelaksana, iaitu SME Corp yang memfokuskan syarikat permulaan dan PKS dalam memacu pembangunan ekonomi negara melalui syarikat berteraskan inovasi.\nTurut serta dalam delegasi ini ialah SME Bank Berhad dan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas). Dato\u2019 Suriani Dato\u2019 Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan penglibatan MEDAC di Expo 2020 Dubai adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Malaysia membangkitkan semula peranan perniagaan permulaan, dan PKS sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara melalui sokongan dan kerjasama dengan pelabur dan dua rakan perniagaan berpotensi.\nUsaha ini akan meningkatkan ekosistem permulaan bagi memenuhi keperluan industri global. Dalam hubungan ini, 17 buah perniagaan permulaan dan PKS berprestasi tinggi dari Malaysia terpilih untuk diperkenalkan kepada rakan perniagaan global yang berpotensi di Pavilion Malaysia Expo 2020 Dubai, UAE.\nFokus industri yang diketengahkan melalui perniagaan permulaan dan PKS pada kali ini ialah Teknologi Kecerdasan Buatan dan Inovasi; Perubatan dan Kesihatan; dan Perkhidmatan berkaitan Dron. Selain itu, syarikat yang menyertai ekspo ini akan terlibat secara langsung dalam aktiviti yang dianjurkan di Pavilion Malaysia seperti sesi pemadanan perniagaan, sesi pengenalan produk dan perkhidmatan serta pitching perniagaan kepada pelabur berpotensi. Syarikat-syarikat tersebut dibimbing oleh SME Corp. Malaysia serta beberapa agensi MEDAC. Syarikat-syarikat ini terpilih kerana bersedia untuk mencapai standard antarabangsa bagi perkhidmatan atau barangan yang dipasarkan.\nSementara itu, dalam usaha merancakkan sinergi penglibatan MEDAC bersempena dengan Expo 2020 Dubai, dua program tambahan turut dilaksanakan serentak, iaitu Export Acceleration Mission dan Business Export Program 2.0 oleh SME Bank yang melibatkan 11 buah syarikat PKS Bumiputera dan Franchise Engagement Programme oleh Pernas.\nMajlis pelancaran Minggu PKS Malaysia ini turut diserikan dengan kehadiran Dato\u2019 Mohd Tarid Sufian (Duta Malaysia ke UAE), Mohd Hasril Abdul Hamid (Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai), Rizal Nainy (Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia), \u00a0Mohd Hilaluddin Abd Shukor (Ketua Pegawai Eksekutif Pernas), Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim (Ketua Strategi Korporat SME Bank), pegawai-pegawai kementerian dan agensi, serta ahli perniagaan dari Malaysia dan luar negara." "Negara Berdaulat Berpaksikan Bahasa Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKUALA LUMPUR \u2212 Tahun 2021 bakal melabuhkan tirainya dengan kehangatan Pertandingan Debat Diraja 2021, anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) yang telah pun bermula pada 11 Disember \u2013 20 Disember 2021. Pertandingan debat ini terbahagi kepada dua kategori, iaitu debat dalam bahasa Melayu dan debat dalam bahasa Inggeris yang diadakan secara dalam talian. Bagi peringkat akhir dan acara kemuncak pula akan diadakan secara bersemuka di Hotel Zenith, Putrajaya, pada 20 Disember 2021. Sebanyak 44 pasukan menyertai pertandingan ini yang terdiri daripada 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan dua daripadanya ialah Institut Pendidikan Guru (IPG).\nBahang pertandingan semakin memuncak dan pasukan yang layak ke peringkat seterusnya telah pun diumumkan. Penganjuran pertandingan ini terus menjadi tumpuan dan liputan media. Kobar semangat yang ada pada diri peserta dalam menyemarakkan serta menyebarkan kempen mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan melalui arena debat ini telah menarik perhatian Pengurusan Tertinggi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan memberikan sokongan penuh kepada penganjuran pertandingan ini.\n\nMenyedari peri pentingnya meningkatkan promosi aktiviti atau program pengembangan bahasa yang semakin dinamik dan digemari oleh kalangan mahasiswa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan DBP telah bekerjasama dengan menganjurkan Wacana Khas Debat Diraja 2021, yang berlangsung pada hari ini yang bermula pada pukul 2.30 petang, melalui Studio Pesona DBP.\nWacana yang bertajuk \u201cBahasa Citra Negara Berdaulat\u201c telah dikupas dengan menarik dan berkesan oleh ketiga-tiga orang panel yang diundang, iaitu Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang merangkap Pengerusi Sekretariat Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Prof. Ts. Dr. Muhd Zu Azhan Yahya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPNM, Puan Julia Alani Henry, Ketua Bahagian Buku Sastera, DBP, dan pemudah caranya pula ialah Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Korporat Jaringan Industri dan Perhubungan Antarabangsa, UPNM.\nDalam perkongsiannya, Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin menjelaskan bahawa MADUM akan sentiasa memberikan sokongan dan terus menjadi landasan kepada pembangunan bakat mahasiswa dalam arena debat yang akan melahirkan mahasiswa yang bijak berkomunikasi yang bersifat holistik.\nProf. Ts. Dr. Muhd Zu Azhan Yahya pula menegaskan bahawa elemen pertahanan sesebuah bangsa itu juga bermula daripada citra negara yang berdaulat yang mempunyai bahasa negara yang unggul dan arena debat berupaya melahirkan warganegara sedemikian.\nMelalui wacana ini, para panel turut bersepakat dalam mengatakan bahawa syarat untuk meletakkan sesebuah negara sebagai sebuah negara berdaulat itu mestilah dipaksikan oleh bahasa kebangsaan negara yang dihormati oleh semua pihak. Melalui wacana ini juga, perkongsian daripada Puan Julia Alani Henry diharapkan dapat memberikan panduan kepada peserta yang akan bertanding ke peringkat yang seterusnya.\nPara panel juga berharap agar para peserta dapat mengamalkan budaya berkomunikasi yang berkesan dan dengan penggunaan bahasa yang baik, bersemangat berpasukan yang tinggi dan bersemangat tinggi dalam mencintai bahasa kebangsaan apabila menjadi seorang pemimpin pada masa hadapan. Mereka juga menyatakan bahawa para peserta pertandingan debat pada kali ini amat bertuah kerana pertandingan ini yang paling berprestij berbanding dengan pertandingan debat yang lain.\nDBP turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat yang telah bersama-sama menjayakan pertandingan ini dalam usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan. Bahasa citra, negara berdaulat!" "Stesen Minyak dan Stor Haram Aktiviti Penyelewengan Minyak Diesel Bersubsidi Diserbu Penguatkuasa KPDNHEP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam dua siri serbuan yang dilakukan ke atas sebuah premis beralamat di Jalan Klang Banting, Jenjarom Kuala Langat, Selangor yang disyaki dijadikan stor tempat penyimpanan minyak diesel haram dan aktiviti pemindahan minyak diesel bersubsidi yang dibeli daripada stesen minyak pada 10 Februari 2022.\nSerbuan juga dilakukan serentak terhadap sebuah stesen minyak yang beralamat di Jalan Klang Banting, 42600 Jenjarom, Kuala Langat, Selangor dalam lingkungan jarak lima\u00a0 kilometer dari premis stor terbabit. Serbuan yang diketuai oleh Rosli Bin Ismail yang bermula pada pukul 2.50 petang dengan kekuatan seramai 20 orang anggota Penguatkuasa KPDNHEP Putrajaya serentak di kedua-dua buah lokasi tersebut adalah hasil risikan pihak KPDNHEP sejak sebulan lalu. Ketika serbuan, terdapat dua buah lori seberat lima tan dilitupi kanvas sedang mengisi minyak diesel bersubsidi menggunakan dua nozel di pam stesen minyak berkenaan ke dalam tangki lori yang telah diubah suai.\nHasil serbuan terhadap premis disyaki stor penyimpanannya pula mendapati aktiviti pemindahan minyak diesel sedang dilakukan daripada dua buah lori lima tan dilitupi kanvas yang lain yang disyaki daripada sindiket yang sama ke dalam lori jenis tangki untuk\u00a0 penjualan atau penghantaran ke lokasi lain.\nKesemua barang kes terbabit telah disita termasuk lori terbabit, minyak diesel sebanyak 26 459 liter, alatan sambungan berupa saluran (hos), lima \u00a0unit pemampat (compressor), meter aliran (flow meter), dokumen dan resit untuk siasatan lanjut. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM215 680.30.\nPasukan serbuan juga menahan lima orang pemandu lori, lelaki warga tempatan dan seorang penjaga stor yang berumur dalam lingkungan 25 tahun hingga 50 tahun. Seorang lelaki warga tempatan berusia 36 tahun juga yang mengaku sebagai pemilik stesen minyak berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan.\nKertas siasatan dibuka dan siasatan lanjut terhadap kes ini akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut dari stesen minyak ke tempat penyimpanan hingga pada peringkat pembeli. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada\nRM1 000 000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) bagi orang perseorangan atau\u00a0 penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi\nRM 3 000 000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta).\nKementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen berkaitan dengan barang kawalan oleh syarikat yang terlibat hingga siasatan selesai dijalankan. Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2011) (Akta 613), iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan barang kawalan bersubsidi terutamanya berkaitan minyak diesel ini.\nJika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau\nRM5 000 000.00 \u00a0(Ringgit Malaysia Lima Juta) yang mana yang lebih tinggi.\nKPDNHEP ingin memberikan amaran keras kepada semua peniaga dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini. Tindakan tegas akan di ambil termasuk mendakwa mereka di mahkamah \u00a0berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.\nOrang ramai disarankan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung dengan aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi ini bagi memastikan aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi ini dapat dibanteras hingga ke akar umbi yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada rakyat dan negara.\nOrang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi ini boleh menyalurkan aduan kepada pihak KPDNHEP melalui saluran yang berikut:\ni. WhatsApp : 019-279 4317\nii. Portal Aduan\u00a0 : e-aduan.kpdnhep.gov.my\niii. Call Centre \u00a0\u00a0\u00a0 : 1-800-886-800\niv. E-mel : [email\u00a0protected]\nv. Ez ADU KPDNHEP" "Pelancaran Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka Peringkat Negeri Kedah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSik \u2013 Berikutan jumlah tunggakan kes pusaka dan permohonan semasa yang meningkat setiap tahun yang amat membimbangkan dan pada masa memahami isu harta pusaka sebagai satu isu dekat di hati rakyat, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) mengambil langkah proaktif dengan melancarkan program Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka.\nProgram ini bertujuan memberi konsultasi dan penerangan mengenai kaedah pengurusan harta pusaka kepada pelanggan dan orang awam. KeTSA juga berharap agar kerjasama erat dengan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah dalam penyelesaian isu harta pusaka ini dapat mengurangkan tunggakan kes pembahagian pusaka yang dihadapi oleh waris di Negeri Kedah dengan kadar segera.\nPindaan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021 telah dibentangkan dan diluluskan di Parlimen pada 22 Disember 2021. Pindaan tersebut, termasuklah meluaskan bidang kuasa Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) dalam pengurusan pusaka kecil dengan peningkatan nilaian bidang kuasa daripada RM2 juta kepada RM5 juta selari dengan peningkatan nilaian hartanah semasa.\nSehubungan dengan itu, usaha ini dilihat dapat membantu rakyat tanpa perlu membawa kes pembahagian ke Mahkamah yang pastinya memerlukan kos khidmat guaman yang tinggi.\nSebelum pindaan dikuatkuasakan, terdapat keperluan bagi pihak kerajaan untuk menggunakan segala kapasiti yang ada, termasuklah usaha sama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri untuk menyegerakan penyelesaian tunggakan kes pusaka. Hingga bulan Disember 2021, didapati tunggakan kes pusaka di negeri-negeri keseluruhannya berjumlah 72 348.\nIsu tunggakan kes pusaka yang tinggi, khususnya bagi negeri Kedah perlu diberi tumpuan terutama sejak dua tahun kebelakangan ini.\u00a0 Hal ini berikutan proses perbicaraan yang tertangguh bagi satu tempoh agak panjang apabila dunia dilanda pandemik COVID-19.\nSatu daripada program yang dirancang bagi penyelesaian isu tunggakan adalah dengan mendapatkan input pada peringkat lapangan melibatkan program turun padang bersama-sama rakyat. Malah, pertemuan bersama-sama ketua-ketua komuniti secara langsung dapat memberikan maklumat mengenai permasalahan yang dihadapi rakyat dalam urusan pentadbiran harta pusaka.\nUsaha sama berterusan antara pihak Kementerian dengan Kerajaan Negeri Kedah secara khusus bagi menangani isu tunggakan kes harta pusaka akan dilaksanakan melalui penubuhan sebuah pasukan petugas yang melibatkan penugasan kepada pegawai Unit Petugas Khas JKPTG bersama-sama Pentadbir Tanah Negeri Kedah untuk membantu perbicaraan kes, di samping menyediakan kemudahan infrastruktur dan penyelarasan pemakaian sistem kelak." "Potensi Pasaran Penerbangan Rantau Asia Pasifik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSINGAPURA \u2013 Pertumbuhan trafik sebanyak 5.3 peratus setahun dan semakin banyak pesawat lama kurang cekap bahan api dihentikan pengunaannya akan menyaksikan rantau Asia Pasifik memerlukan 17,620 pesawat penumpang dan pengangkut baharu menjelang tahun 2040, kata Airbus.\n\u201cHampir 30 peratus daripada jumlah ini akan menggantikan pesawat lama yang kurang cekap bahan api,\u201c kata pengeluar pesawat Eropah itu dalam laporan terbarunya.\nLaporan itu menyebut rantau yang menempatkan 55 peratus penduduk dunia, China, India dan negara sedang pesat membangun seperti Vietnam dan Indonesia akan menjadi pemacu utama pertumbuhan di Asia Pasifik.\nLaporan itu juga menyebut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rantau itu akan berkembang pada 3.6 peratus setahun berbanding purata dunia sebanyak 2.5 peratus dan dua kali ganda nilainya menjelang tahun 2040.\nRantau Asia Pasifik akan terus memacu permintaan dengan kira-kira 42 peratus daripada keperluan global bagi kategori jarak sederhana dan panjang. Secara keseluruhan, ia mencerminkan pertumbuhan kukuh dalam tempoh 20 tahun akan datang yang mewujudkan permintaan untuk kira-kira 2,440 pesawat pengangkut.\n\u201cKami melihat pemulihan global sedang berlaku dalam trafik udara dan apabila sekatan perjalanan dilonggarkan, rantau Asia-Pasifik akan menjadi salah satu pemacu utamanya semula,\u201c kata Ketua Pegawai Komersial dan Ketua Airbus International, Christian Scherer.\n\u201cKami juga yakin akan berlaku kenaikan semula jumlah trafik di rantau ini dan menjangkakan akan mencapai tahap sama seperti tahun 2019 antara tahun 2023 dan 2025\u201c.\nBeliau berkata susulan daripada tumpuan utama terhadap kecekapan dan penerbangan mampan di rantau ini yang menunjukkan produk Airbus berada pada kedudukan yang baik." "MATRADE, MEDAC dan SME Bank Tingkatkan Daya Saing Perdagangan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDubai \u2013 Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia atau Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi atau Ministry of Entrepreneur Development and Cooperatives (MEDAC) serta SME Bank terus membantu PKS Malaysia bagi pemulihan perniagaan pascapandemik yang melibatkan penyertaan daripada 11 buah syarikat dari pelbagai sektor dalam Misi Pencepatan Eksport atau Export Acceleration Mission (EAM) ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).\nMisi Pencepatan Eksport diadakan bersempena dengan Ekspo Dunia 2020 Dubai. Misi selama seminggu itu bertujuan memberikan peluang kepada PKS mengembangkan kehadiran jenama mereka dalam pasaran dan mewujudkan perkongsian perniagaan dengan UAE dan negara jirannya; Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).\nMenurut Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Mohd Mustafa Abdul Aziz, kerjasama strategik antara MATRADE, MEDAC dan SME Bank menandakan kepentingan sinergi dalam ekosistem perdagangan dalam mengukuhkan daya saing perdagangan Malaysia seperti yang disyorkan oleh Pelan Tindakan Perdagangan Nasional atau National Trade Blueprint.\nPelan Tindakan Perdagangan Nasional itu menggariskan strategi dan inisiatif pembangunan lima tahun (2021\u20132025) untuk meningkatkan daya saing perdagangan Malaysia, khususnya dalam eksport barangan. Pelan Tindakan Perdagangan Nasional dilancarkan pada bulan Oktober 2021 oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Rangka Tindakan itu bertujuan meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan yang dinamik dan terkemuka melalui pembangunan dan promosi eksport yang mampan.\nPada tahun ini, MATRADE terus menjalinkan dan memanfaatkan kerjasama strategik dengan pelbagai kementerian, agensi, kedutaan asing, dan persatuan industri perdagangan dalam melaksanakan program berkaitan eksport untuk mewujudkan lebih banyak peluang kepada komuniti perniagaan.\n\u201cMATRADE menggariskan sejumlah 286 program promosi eksport dan pembangunan pengeksport pada tahun ini bagi syarikat Malaysia agar berani menghadapi permintaan pasaran serta mengembangkan jejak global mereka. Oleh itu, adalah penting bagi semua pihak bekerjasama untuk memastikan program tersebut menghasilkan hasil berimpak tinggi dan, akhirnya mengangkat eksport ke trajektori pertumbuhan,\u201d kata Mohd Mustafa.\nMATRADE kekal komited memberikan sokongan dan bantuan kepada syarikat Malaysia di barisan hadapan pasaran global. Dengan rangkaian 46 buah pejabat di luar negara dan lima buah pejabat wilayah di Malaysia, MATRADE bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu pertumbuhan eksport negara.\nSyarikat-syarikat Malaysia digalakkan untuk berhubung dengan MATRADE melalui pejabat MATRADE, saluran media sosial atau layari www.matrade.gov.my untuk maklumat lanjut mengenai promosi eksport dan program pembangunan pengeksport, atau bantuan MATRADE lain seperti Pusat Maklumat Perniagaan, Pusat Pameran Eksport Malaysia dan khidmat nasihat lain." "Ekonomi Malaysia Dijangka Kekal dalam Laluan Pemulihan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bagi tahun 2022, ekonomi domestik dijangka kekal dalam laluan pemulihannya, disokong oleh pengembangan berterusan dalam permintaan global dan perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi memandangkan keadaan pasaran buruh yang bertambah baik dan sokongan dasar yang berterusan. Penerusan projek pelaburan utama bagi sektor awam dan swasta juga akan menyokong pertumbuhan.\nGabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah menjelaskan, \u201cMalaysia berada pada kedudukan yang baik untuk terus mendapat manfaat daripada pengembangan dalam aktiviti ekonomi dan perdagangan global. Pencepatan program vaksinasi penggalak COVID-19 dan vaksinasi kanak-kanak yang berumur lima tahun ke atas, ditambah dengan kapasiti yang mencukupi dalam sistem penjagaan kesihatan, akan meningkatkan aktiviti ekonomi domestik, sekali gus mengukuhkan momentum pemulihan.\u201d\nPada masa yang sama, imbangan risiko kekal condong ke arah bawah, terutamanya daripada pembangunan sekitar COVID-19, sama ada pada peringkat global mahupun domestik.\nInflasi pada tahun 2022 berkemungkinan kekal sederhana disebabkan oleh kesan asas inflasi bahan api lesap. Inflasi teras dijangka meningkat apabila aktiviti ekonomi kembali normal dalam persekitaran kos input yang tinggi. Namun begitu, inflasi teras dijangka sederhana, dengan risiko menaik dikawal oleh kelonggaran berterusan dalam ekonomi dan pasaran buruh. Tinjauan itu tertakluk kepada perkembangan harga komoditi global di tengah-tengah risiko daripada gangguan berkaitan dengan bekalan yang berpanjangan.\n\u00a0\nBank Negara Malaysia dijangka menerbitkan Laporan Tahunan 2021 (AR 2021), Kajian Ekonomi dan Kewangan 2021 (EMR 2021), dan Kajian Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2021 pada 30 Mac 2022." "Skim Seniors Back in Action Menjanakan Pendapatan Pesara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 HRD Corp diamanahkan untuk menyampaikan program latihan peningkatan kemahiran dan kemahiran semula dan akan dapat melaksanakan tugasnya melalui platform bersepadu atau single window untuk rakyat Malaysia mencari dan memohon program pembangunan kemahiran yang ditawarkan oleh kerajaan.\nPresiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Dato\u2019 Dr Syed Hussain Syed Husman menyatakan bahawa \u201cPersekutuan Majikan-Majikan Malaysia menghargai pelbagai program yang disasarkan kepada golongan ini. Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia berterima kasih kepada Datuk Shahul Hameed Dawood, Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp dan YB Datuk Seri M Saravanan, Menteri Sumber Manusia kerana memberikan tumpuan untuk mendidik, melatih dan membangunkan kumpulan ini dengan lebih mudah bekerja. Persekutuan Majikan-majikan Malaysia menyokong inisiatif ini dan menggalakkan ahlinya untuk menyokong dan menjayakan program ini.\u201c\n\u201cSkim warga emas yang menyasarkan warga emas berumur 60 tahun ke atas dibangunkan untuk menjanakan pendapatan dan menyediakan pekerjaan kepada pesara dengan menyertai kursus latihan berkaitan nilai tambah yang diperlukan oleh majikan dan industri. \u00a0Skim ini menawarkan program penjanaan pendapatan dan tawaran pekerjaan yang lebih produktif dan selaras dengan keperluan pesara. Skim ini bertujuan meningkatkan pengambilan pesara serta menggunakan kemahiran pesara dan pengalaman lepas mereka.\nSkim Seniors Back in Action (SEBA) akan terus membantu rakyat menjanakan pendapatan dan menjalani hari tua yang layak pada masa hadapan. Hal ini sedikit sebanyak akan menangani simpanan yang rendah dalam KWSP untuk sebahagian ahlinya." "FAMA Siap Siaga Pasukan Sokongan Tindak Balas Kecemasan FAMA (CDERT FAMA)\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPort Dickson\u00a0 \u2013 Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Federal Agricultural Marketing Authority atau FAMA) meneruskan kursus CDERT FAMA yang bertujuan meningkatkan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan terhadap bencana, khususnya dalam kalangan kakitangan FAMA.\nMenteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata selaras dengan Kerangka Kerja Sendai untuk Pengurangan Risiko Bencana Tahun 2015\u20132030 (Sendai Framework for Disaster Risk Reduction) yang disepakati oleh 187 buah negara, menekankan bahawa pengurangan risiko bencana merupakan tanggungjawab yang perlu dikongsi bersama dengan semua pihak berkepentingan, membudayakan latihan secara bersepadu, terencana dan berkesinambungan.\nDr. Ronald berkata usaha MAFI melalui FAMA dalam melaksanakan CDERT adalah bertepatan dan seiring dengan semangat Keluarga Malaysia yang dapat dilihat bahawa tugas serta tanggungjawab dalam menghadapi bencana tidak hanya terletak kepada pasukan penguatkuasa semata-mata.\nFAMA juga telah diperuntukan dana sebanyak RM30 juta di bawah peruntukanProgram Rangsangan Ekonomi (PRE) bagi melengkapkan kemudahan logistik dan pusat penyimpanan FAMA di seluruh negara. Kelengkapan seperti kemudahan ruang penyimpanan bagi hasil pertanian segar dan proses, kemudahan bilik sejuk dan kenderaan FAMA berjaya memantapkan usaha kerajaan menjamin bekalan makanan negara.\nFAMA turut dilantik dan diberi tanggunggjawab sebagai penyedia kit makanan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk disalurkan ke seluruh negaraapabila berlaku sesuatu bencana.\n\u201cAtas dasar ini, kakitangan FAMA perlu dilatih dan diberi kemahiran untuk membantu jabatan dan agensi berkuasa awam berkaitan dalam menyalurkan bantuan dan memberikan pertolongan kecemasan kepada kumpulan sasar yang terlibat. Latihan ini juga merupakan satu elemen yang dapat meningkatkan mutu penyampaian peranan FAMA sebagai agensi pelaksana dalam pemantapan jaminan bekalan makanan\nsemasa krisis dan bencana,\u201d jelas Dr Ronald.\nCDERT FAMA dilaksanakan secara bersiri dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan bagi siri pertama telah bermula pada 29 November 2021 dengan seramai 44 orang kakitangan FAMA menjalankan latihan asas pertahanan awam selama 56 jam di Institut Latihan FAMA, Port Dickson. Diikuti siri ke-2 dengan penyertaan sebanyak 34 orang dan siri ketiga diadakan dari 13 Februari hingga 18 Februari 2022 dengan penglibatan sebanyak 163 orang. Secara keseluruhannya, sebanyak 241 orang kakitangan FAMA menganggotai CDERT FAMA ini.\nMelangkah kehadapan, sebanyak 1000 orang kakitangan akan menganggotai CDERT FAMA pada awal tahun 2023. FAMA sentiasa bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada APM bagi sebarang misi bencana dengan menyediakan perkhidmatan dan kemudahan FAMA serta mengalu-alukan panggilan dari APM sekiranya terdapat kakitangan FAMA yang layak untuk menyertai misi bencana bagi memanfaatkan ilmu dan latihan yang telah diperoleh.\nSimbolik penyampaian watikah pelantikan dan pelancaran CDERT FAMA disempurnakan oleh Datuk Dr. Haji Abd Latiff\u00a0 Hj. Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Terdahulu, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli, Ketua Pengarah FAMA dianugerahkan pangkat Pegawai Kehormat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang membawa\u00a0 gelaran\u00a0 \u201cPenolong Pesuruhjaya Kehormat (PA)\u201c pada 24 Mac tahun 2021. Turut hadir, Datuk Seri Haji Ahmad bin Hamzah, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Dato\u2019 Haji Mohd Fasiah bin Haji Mohd Fakeh, Pengerusi FAMA dan Aminurrahim\u00a0 Mohamed, Ketua Pesuruhjaya APM." "Jaminan 600 000 Peluang Pekerjaan Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sekurang-kurangnya 600 000 peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan tahun ini di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang akan dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi.\nMenteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan bahawa pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran turut akan dianjurkan dalam merancakkan kembali sektor pekerjaan yang terjejas dek pandemik.\nBeliau yakin sasaran itu dapat dicapai berdasarkan pencapaian cemerlang tahun lepas yang berjaya melepasi angka 500 000 peluang pekerjaan yang ditetapkan.\nProgram itu melibatkan tiga komponen, iaitu insentif pengajian, MyStep dan program latihan\u00a0 peningkatan kemahiran\u00a0 \u201crescaling\u201c dan \u201cupscaling\u201c.\n\u201cBagi insentif pengajian kerja ini permohonan insentif telah dibuka sebenarnya dari 17 Januari yang lepas, boleh dibuat melalui laman web Perkeso. \u201cProgram MyStep merupakan peluang pekerjaan kepada pekerja untuk menyertai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan juga kerajaan. \u201cKerajaan juga sasarkan 220 000 pelatih menjalani \u201crescaling\u201c dan \u201cupscaling\u201c dan semua pelatih akan diberikan peluang pekerjaan kerana kita memberi jaminan itu,\u201d katanya.\nInisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang diperuntukkan dana RM4.8 bilion itu akan dilancarkan secara rasminya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 19 Februari ini.\nPada majlis pelancaran itu nanti, kata Tengku Zafrul, akan ada lebih kurang 50 majikan dengan 2500 peluang pekerjaan dibuka dengan sesi temuduga dan kaunseling kerja. Selain itu,\u00a0 pelbagai aktiviti lagi akan diadakan pada majlis tersebut." "Skim Bantu Pendapatan Suri Rumah dan Ibu Tunggal\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Skim Pemantapan Bakat dan Aktifkan Semula Suri Rumah dibangunkan oleh HRD Corp (Human Resource Development Corporation) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita untuk membantu suri rumah dan ibu tunggal dengan menyediakan mereka dengan penjanaan pendapatan dan peluang pekerjaan.\nProgram ini amat kritikal kerana banyak wanita Malaysia yang berhenti kerjaya mereka di tengah-tengah jalan dan memerlukan bantuan untuk membuat kemunculan semula kerjaya nanti. Program ini juga menyediakan platform untuk suri rumah dan ibu tunggal memperoleh pendapatan di luar pekerjaan tradisional sama ada melalui pekerjaan formal ataupun bekerja sendiri. Program ini juga menyediakan peluang latihan dengan kemahiran khusus seperti peningkatan sosial dan ekonomi serta kemajuan teknologi untuk mencapai kestabilan ekonomi.\nPresiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Dato\u2019 Dr. Syed Hussain Syed Husman menambah bahawa \u201cMenjadi tanggungjawab kolektif semua rakyat Malaysia untuk saling membantu.\u201c Kita tidak boleh menolak segala-galanya kepada kerajaan. Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia percaya bahawa majikan sektor swasta akan memainkan peranan mereka secara positif untuk menyokong skim HRD Corp dengan mengambil kakitangan terlatih yang akan meningkatkan produktiviti dan daya saing." "Inisiatif Semarak Niaga Bantu Kelangsungan Sektor Perniagaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u00a0Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga) bernilai RM40 bilion disediakan bagi mengembalikan keupayaan dan memastikan kelangsungan industri perniagaan terutamanya semasa pasca pandemik, menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Tambah beliau, kerajaan juga sedar betapa pentingnya menyokong perniagaan mikro terutamanya bagi membantu mereka pulih dan bangun semula ketika pasca pandemik.\nPembiayaan kredit mikro bernilai hampir RM1.8 bilion akan disediakan melalui pelbagai agensi seperti BSN, TEKUN, Agrobank, Bank Rakyat dan Bank Negara Malaysia (melalui bank-bank komersial) menerusi SemarakNiaga.\nLangkah-langkah itu termasuklah pembiayaan Ekuiti/Alternatif (RM2.2 bilion), Pinjaman Mudah Perusahaan Kecil dan Sederhana (RM14.2 bilion) dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) (RM22 bilion termasuk peruntukan khas Bumiputera sebanyak RM2 bilion).\nAntara ciri yang dirunding khas oleh Kementerian Kewangan semasa menggubal SemarakNiaga ialah moratorium kepada peminjam sekurang-kurangnya enam bulan (sehingga 12 bulan di bawah TEKUN).\nSelain itu, beliau berkata koperasi turut mendapat manfaat daripada SemarakNiaga melalui pembiayaan koperasi seperti Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (TRANSFER) (RM10 juta), Program pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi (RM30 juta) dan penyediaan tapak perniagaan trak makanan kawasan bandar (RM1.75 juta).\n\u201cBagi sektor pelancongan, kerajaan sedar apabila sempadan dibuka semula, kita memerlukan kapasiti yang sudah siap dibangunkan untuk memaksimumkan potensi hasil dalam sektor ini. Jadi, untuk membina semula sektor pelancongan, kerajaan telah memperuntukkan RM1.6 bilion dalam Bajet 2022,\u201c kata Tengku Zafrul.\nAntara yang ditawarkan ialah program subsidi upah kepada pemain industri yang akan memanfaatkan 330,000 pekerja melibatkan peruntukan RM600 juta, pembiayaan RM600 juta di bawah PENJANA Tourism Financing dan bantuan khas kepada lebih 20,000 pengusaha pelancongan yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya selama tiga bulan dengan peruntukan RM85 juta.\nSelain itu, pelepasan khas cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan pelancongan domestik sehingga RM1,000 dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2022.\nTengku Zafrul menegaskan Kementerian Kewangan akan sentiasa responsif terhadap keperluan rakyat dan perniagaan dalam mengambil langkah-langkah untuk mempercepatkan usaha pemulihan. Inisiatif lain menerusi SemarakNiaga boleh dilayari di https://budget.mof.gov.my/manfaat/." "Isu Pintar Budaya dalam Pendidikan Bahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSebagai sambutan Minggu Akademia, Jabatan Bahasa Melayu Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menganjurkan forum tentang cabaran dan strategi pintar budaya dalam pendidikan bahasa Melayu pada 28 Oktober 2021. Untuk perkongsian fikiran, saya catat inti sari pandangan yang saya kemukakan dalam forum itu.\nAsas paling kuat untuk melakukan peralihan paradigma dalam sistem pendidikan bagi mewujudkan pintar budaya dalam kalangan pelajar ialah keadaan yang mengekang pelaksanaannya yang berlaku sejak puluhan tahun lalu. Kekangan itu ialah persepsi bahawa kecemerlangan pelajar diukur berdasarkan prestasi dalam peperiksaan am seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) [sebelum ini Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pun demikian].\nWalaupun prestasi pelajar dalam\u00a0 peperiksaan dapat menjadi salah satu petunjuk kecemerlangan, namun obsesi masyarakat, pentadbir sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar yang agak melampau menyebabkan kecemerlangan itu dianggap sebagai ukuran yang hampir mutlak dan muktamad. Dapat kita saksikan pemimpin atau orang besar Kementerian Pendidikan Malaysia membuat pengumuman keputusan peperiksaan SPM di sekolah yang paling cemerlang pada tahun tertentu dan hal itu dengan sendirinya merupakan pengesahan tentang persepsi umum bahawa kecemerlangan dalam peperiksaan ialah penanda aras kecemerlangan pelajar dalam pendidikan.\nTerus-terang saya katakan bahawa persepsi itu semu atau palsu kerana ukuran kecemerlangan lebih luas dan rencam daripada keputusan peperiksaan. Antaranya termasuklah tahap celik budaya atau pintar budaya yang dijadikan tajuk forum. Memang kian ketara wujudnya pelajar dan lepasan sekolah dan institut pendidikan tinggi yang tidak atau kurang celik budaya.\nSaya menyarankan agar cita-cita untuk melahirkan pelajar yang pintar budaya diasaskan pada empat tahap atau lingkungan budaya. Pertama, tahap budaya bangsa sendiri; yang kedua, tahap budaya kelompok lain senegara; ketiga, tahap budaya supra; dan keempat, tahap budaya sejagat.\nUntuk tahap dan lingkungan budaya bangsa sendiri, banyak warisan dan unsur semasa yang perlu diteguhkan penghayatannya dalam kalangan pelajar. Aspek pemikiran, sistem nilai, kesantunan bahasa, pola hubungan interpersonal, sastera dan unsur yang lain, jika diabaikan dalam pendidikan bahasa (dan mata pelajaran lain) mengakibatkan pelajar kehilangan jati diri dan tidak menjalani kehidupan berdasarkan asas-asas teras budaya bangsanya. Inilah yang menimbulkan fenomena kehilangan adab, budi bahasa, sangkaan baik, tolak ansur, kerjasama dan segala budaya positif.\nGolongan inilah yang apabila memikul amanah dalam kerjaya tidak menyerapkan unsur-unsur budaya positif tetapi sebaliknya menjadi kacang yang lupakan kulit, meremehkan teras bangsa seperti bahasa dan warisan bangsa, malah terjebak dalam jenayah seperti rasuah, pecah amanah dan sampai di peringkat \u201cmenjual negara\u201d (seperti kes penjualan kad pengenalan dan pasport kepada bukan warganegara). Pintar budaya dalam konteks ini penting juga dalam kaitannya dengan penghormatan kepada pancang-pancang kenegaraan yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan, terutama tentang Islam agama Persekutuan, kedudukan raja-raja, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, serta kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera, dan hak sah kaum lain.\nUntuk tahap dan lingkungan kedua, diperlukan pelajar yang pintar budaya agar dapat memahami, menghormati dan menghargai budaya kaum lain yang menjadi rakan senegara. Kewujudan orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dusun, Orang Asli dan puluhan etnik lain sebagai warganegara memerlukan pelajar didedahkan kepada unsur budaya kaum lain untuk mewujudkan persefahaman dan perpaduan.\nKeperluan itu lebih mendesak dalam keadaan sejumlah ahli politik yang berasaskan politik perkauman mencetuskan keadaan tidak menyenangkan dan menjadikan generasi muda keliru tentang erti perpaduan apabila golongan \u201cmantan muda\u201d bertingkah laku tidak matang dalam budaya hidup mereka. Parlimen yang disebut \u201cdewan yang mulia\u201d, misalnya kehilangan kemuliaannya apabila sejumlah ahli Parlimen menggunakan bahasa dan bertingkah laku tidak mulia. Perihal \u201cketam mengajar anaknya berjalan betul\u201d berulang terus.\nTahap dan lingkungan ketiga pula berkaitan dengan budaya supra. Hal ini secara khusus saya pertalikan dengan budaya Melayu yang menjadi teras Dasar Kebudayaan Kebangsaan negara kita. Pelajar perlu diberi masukan bahawa budaya Melayu bersifat budaya supra, iaitu merentas sempadan geopolitik, iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Thailand Selatan, sebahagian Filipina, Kampuchea, Vietnam, Laos dan Wilayah di luar alam Melayu yang menampung diaspora Melayu seperti Sri Lanka, Madagaskar, Capetown dan bahkan di Eropah dan wilayah lain di dunia. Inilah maksud Melayu Mahawangsa atau Melayu bangsa besar yang sering saya kumandangkan. Sementara itu, sikap parokial atau pandangan sempit yang menimbulkan rasa perseteruan dan cemburu buta antara negara patut dihindari supaya tidak timbul isu remeh seperti perebutan asal muasal sesuatu seni budaya, makanan dan yang lain.\nAkhirnya, tahap dan lingkungan keempat berkaitan dengan kepekaan kepada budaya sejagat milik pelbagai bangsa sedunia. Melalui pendidikan bahasa, perlu didedahkan hal itu untuk persefahaman manusia sejagat dan juga untuk keperluan praktis kerana dengan ledakan teknologi canggih, perhubungan kita dengan dunia luar tidak dapat dielakkan.\nSecara ringkas, saya mengaitkan hal itu dengan pemenuhan tuntutan Surah al-Hujurat ayat 13, iaitu agar semua manusia pelbagai bangsa yang diciptakan Allah saling berkenalan. Selain berkenalan tentang hal luaran seperti bentuk fizikal, warna kulit, bahasa, makanan dan busana yang lebih penting ialah mengenal pasti kekuatan dan kelebihan bangsa lain untuk kita manfaatkan bagi meningkatkan tamadun gangsa dan negara kita. Itulah asas pintar budaya untuk peringkat budaya sejagat.\nDiharapkan dengan perkongsian fikiran di atas, dapat digerakkan peralihan paradigma pendidikan kita yang lebih peka budaya, peka masyarakat, dan peka akan keseluruhan fenomena semasa untuk akan datang yang lebih baik." "Inisiatif HRD Corp Tingkatkan Bakat OKU\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Program Peningkatan Bakat OKU merupakan inisiatif HRD Corp dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membantu Orang Kurang Upaya (OKU) dengan menyediakan mereka dengan penjanaan pendapatan dan peluang pekerjaan untuk mereka menjadi lebih produktif dan berdikari juga. bagi melengkapkan diri dengan kemahiran yang sesuai dan menyumbang kepada pembangunan modal insan dan ekonomi negara secara holistik.\nProgram ini juga memberikan kesedaran dan kesediaan kepada masyarakat tentang penerimaan OKU di tempat kerja. Program ini akan membantu merealisasikan objektif untuk menyediakan sekurang-kurangnya 1% penempatan kerja OKU di sektor awam dan swasta.\nMenurut Presiden Persatuan Majikan-Majikan Malaysia, Dato\u2019 Dr. Syed Hussain Syed Husman, \u201cKerajaan sedang berusaha sedaya upaya untuk melatih, melatih semula dan meningkatkan kemahiran semua lapisan masyarakat bagi memastikan rakyat yang memerlukan pendapatan tambahan berpeluang memperoleh pendapatan lebih. Hal adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial kerajaan kerana kebanyakan segmen masyarakat istimewa ini memerlukan pendapatan tambahan untuk menambahkan pendapatan mereka.\u201c" "Peluang Rakyat Tambah Pendapatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Platform beli-belah dalam talian Jana\u2019Preneur dan program latihan kemahiran untuk penempatan bekas banduan, Peluang Kedua dan Peluang untuk Rakyat Cemerlang atau Second Chances and Opportunities for People to Excel (Scope), dan pembaharuan Pusat Sumber Manusia Kebangsaan akan memainkan peranan strategik sebagai kumpulan pemikir (think tank) HRD&M pada peringkat kebangsaan.\nPresiden Persatuan Majikan-Majikan Malaysia, Dato\u2019 Dr. Syed Hussain Syed Husman menambah, \u201cMenjadi tanggungjawab kolektif semua rakyat Malaysia untuk saling membantu. Kita tidak boleh menolak segala-galanya kepada kerajaan. Persatuan Majikan-Majikan Malaysia percaya bahawa majikan sektor swasta akan memainkan peranan mereka secara positif untuk menyokong skim HRD Corp ini dengan mengambil kakitangan terlatih yang akan meningkatkan produktiviti dan daya saing.\nKerajaan sedang berusaha sedaya upaya untuk melatih,\u00a0 semula dan meningkatkan kemahiran semua lapisan masyarakat bagi memastikan rakyat yang memerlukan pendapatan tambahan berpeluang memperoleh pendapatan lebih. Hal ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial kerajaan kerana kebanyakan segmen masyarakat istimewa ini memerlukan pendapatan tambahan untuk menambah pendapatan mereka." "e-Filing Tahun Taksiran 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\nKuala Lumpur \u2013 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan bahawa pengemukaan Borang Nyata Tahun Saraan 2021 dan Tahun Taksiran 2021 melalui e-Filing bagi Borang E, BE, B, M, BT, MT, P, TF dan TP boleh dilakukan mulai 1 Mac 2022.\nPembayar cukai boleh mengakses sistem e-Filing melalui portal rasmi HASiL di www. hasil.gov.my>MyTax>Perkhidmatan ezHasil> e-Filing.\nPembayar cukai yang log masuk kali pertama ke sistem e-Filing perlu mendapatkan PIN terlebih dahulu melalui Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL atau hadir ke kaunter cawangan HASiL.\nSekiranya pembayar cukai terlupa kata laluan e-Filing, tindakan set semula kata laluan tersebut\u00a0 \u00a0boleh\u00a0\u00a0\u00a0 dilakukan\u00a0\u00a0\u00a0 secara\u00a0\u00a0\u00a0 dalam\u00a0\u00a0\u00a0 talian,\u00a0 \u00a0 iaitu\u00a0 melalui e-mel atau nombor telefon bimbit yang berdaftar dengan HASiL.\nBagi pembayar cukai yang masih menghadapi masalah dalam melakukan tindakan set semula kata laluan e-Filing, mereka boleh menghubungi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 (Dalam Negara)/603-8911 1100 (Luar Negara), HASiL Live Chat atau kunjungi kaunter perkhidmatan HASiL yang berhampiran.\nMaklumat lanjut berkenaan Program Memfail Borang Nyata bagi Tahun 2022 boleh dirujuk di portal rasmi hasil.gov.my atau boleh klik pada pautan berikut untuk capaian pantas:\nhttps://www.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2022_1.pdf\nPembayar cukai disarankan untuk mengemukakan Borang Nyata dan membayar cukai pendapatan mereka dalam tempoh yang telah ditetapkan. Status penghantaran Borang Nyata, proses bayaran balik, e-Lejar dan PCB boleh disemak melalui MyTax.\nPembayar cukai turut dinasihatkan untuk memastikan semua dokumen seperti penyata pendapatan, resit, invois dan lain-lain dokumen berkaitan dengan cukai pendapatan dikumpulkan, disusun dengan kemas dan disimpan dengan rapi sekurang-kurangnya untuk tempoh tujuh tahun seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 82 dan 82A Akta Cukai Pendapatan 1967. Perkara ini perlu dilakukan sebagai persediaan untuk memudahkan proses mengisi e-Filing dan semakan pematuhan oleh HASiL pada masa hadapan.\nSebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan dengannya boleh dimajukan kepada HASiL melalui:\n(a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000/603-8911 1100 (Luar Negara);\n(b) HASiL Live Chat; dan\n(c) Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas seperti yang berikut:\nhttps://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.\n\u00a0\nDikeluarkan 0leh:\nBahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia\nHasil Care Line : 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara)\nHasil Recovery Call Centre: 03-8751 1000\nPortal Rasmi : www.hasil.gov.my" "Akademi Transformasi Asnaf MAIPs Bantu Anak Asnaf ke Industri TVET\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBatu Kawan \u2013 Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil telah berkenan untuk merasmikan majlis perasmian restoran The Phat Bee di Plaza WCOE, Taman Perindustrian Batu Kawan.\nKeberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail disambut oleh Goh bersama-sama isterinya, Liong Swee Yen yang mengusahakan restoran berkenaan.\nTerdahulu daripada itu, Tuanku Raja Muda Perlis berkenan menyempurnakan \u201cMajlis Graduasi dan Penempatan Pekerjaan Walta Centre of Excellence (WCOE) Kali Pertama\u201d yang melibatkan seramai 18 orang graduan dari Perlis.\nMereka terdiri dalam kalangan keluarga asnaf terpilih di negeri Perlis yang lulus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang Perkhidmatan Kejuruteraan Industri Automasi dan ditaja oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM).\nWalta Group sebuah syarikat tempatan dalam industri automasi dan pemesinan yang beroperasi di Pulau Pinang mengulangi komitmennya untuk melabur di negeri Perlis melalui penubuhan Walta Centre of Excellence (WCOE) 2 dan juga \u2018Perlis Automation Cluster (PAC)\u2019 tidak lama lagi.\nSyarikat itu juga berikrar untuk meningkatkan kerjasama\u00a0 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan juga Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM).\nPihak Walta Group juga komited untuk membuat pelaburan dan mahu menghasilkan \u201cSyariah Compliance Medical Device\u201d yang pertama di Perlis kelak. Pada kesempatan yang sama, Goh memaklumkan bahawa Walta Group mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pemegang taruh yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada kumpulan mereka termasuklah MAIPs, ATAM, UniMAP, Penang Development Corporation (PDC), Invest Penang, PAC, Pentamaster, Vitrox, PERKESO dan lain-lain lagi.\nTuanku Raja Muda juga berharap inisiatif pengambilan kemasukan anak-anak asnaf negeri Perlis akan sentiasa berterusan pada masa akan datang. Baginda menyarankan supaya ibu bapa atau penjaga dapat memainkan peranan masing-masing bagi menggalakkan anak-anak mereka untuk terus meneroka bidang TVET bagi merancakkan lagi sektor perindustrian di negeri Perlis pada masa hadapan." "Harga Runcit Petroleum 17-23 Februari 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Menurut Kementerian Kewangan Malaysia harga runcit Berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism, harga runcit produk petroleum bagi tempoh 17 Februari 2022 hingga 23 Februari 2022 adalah ditetapkan seperti yang berikut:\nBagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, Kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan.\nKerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara." "SME Bank Sasar Peningkatan Jualan Eksport Usahawan PKS BEP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 11 orang usahawan PKS yang juga peserta Business Exports Program (BEP) dibawa menyertai Misi Peningkatan Eksport atau Export Acceleration Mission (EAM) Dubai 2022 yang berlangsung serentak dengan Ekspo Dubai 2020 dan Gulf Food.\nSME Bank menyasarkan peningkatan jualan eksport sebanyak RM23 juta bagi keseluruhan peserta Business Exports Program (BEP) yang dijalankan secara usaha sama oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), SME Bank dan MATRADE.\nKetua Pegawai Strategik Korporat Kumpulan SME Bank, Datuk Mohammad Hardee Ibrahim berkata, \u201cSelain daripada mencari peluang melebarkan pasaran ke peringkat antarabangsa, 11 orang usahawan PKS ini juga akan mencari peluang untuk menarik pelabur ke dalam syarikat masing-masing. Inilah antara objektif utama penyertaan mereka di bawah EAM yang turut dilancarkan di Dubai oleh Dato\u2019 Suriani Dato\u2019 Ahmad, Ketua Setiausaha MEDAC pada 13 Februari 2022. \u00a0Sebelas buah syarikat ini adalah daripada sektor makanan dan minuman, telekomunikasi, pembuatan dan perkhidmatan.\u201d\nMohammad Hardee menambah, \u201cSME Bank sebagai agensi pelaksana telah memulakan program ini sejak tahun 2016 hingga tahun 2019 yang sebelum ini dikenali sebagai Best Exporters Program dan merupakan kolaborasi antara TERAJU, SME Bank dan MATRADE.\nSebanyak 73 buah syarikat tempatan menyertai program tersebut dan mencatatkan peningkatan hasil eksport sebanyak RM141.4 juta; 55 buah syarikat berjaya meningkatkan hasil eksport; 19 buah syarikat menjadi pengeksport baharu, dan 13 buah syarikat mendapat pembiayaan daripada SME Bank berjumlah RM87.7 juta.\u201d\nBEP ialah program intervensi berstruktur yang telah diletakkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11. Program ini menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di bawah inisiatif mempelbagaikan eksport negara dan mengurangkan kebergantungan pada eksport minyak dan gas. Selain itu, BEP juga secara langsung menyokong Teras 6 di bawah Dasar Keusahawanan Negara (DKN) 2030 dalam mengantarabangsakan perusahaan berprestasi tinggi, dengan memudahkan cara usahawan PKS Bumiputera untuk menembusi pasaran eksport." "Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi Dilanjutkan Hingga Sempadan Negara Dibuka\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi atau nama ringkasnya LITB telah dilaksanakan bermula 15 November 2021 sebagai projek rintis untuk tempoh tiga bulan. Projek rintis ini menguji kesediaan dan siap siaga ekosistem pelancongan negara, khususnya para penggiat industri pelancongan serta para pekerja barisan hadapan untuk menerima kedatangan pelancong asing ke Malaysia secara berperingkat dan selamat.\nSehubungan dengan itu, Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 Bil.2/2022 pada 8 Februari 2022 bersetuju bahawa Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) dilanjutkan hingga sempadan negara dibuka. Prosedur Operasi Standard kemasukan pengembara asing ke Malaysia melalui LITB diselaraskan mengikut ketetapan dan garis panduan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diwartakan pada 16 Februari 2022. Perubahan yang telah dikemaskinikan adalah seperti yang berikut:\nProsedur Operasi Standard ini berkuat kuasa bermula pada 16 Februari 2022 dan akan menjadi penanda aras Prosedur Operasi Standard pembukaan sempadan kelak. Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, \u201cAdalah diharapkan bahawa keputusan ini akan disambut baik oleh pengunjung antarabangsa yang berhasrat untuk datang ke Malaysia melalui LITB pada masa ini.\u201d" "Tenaga Kerja untuk Dieksport ke Jepun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTokyo \u2013 Pakistan dan Jepun menandatangani Memorandum Kerjasama pada 16 Februari 2022 untuk eksport tenaga kerja ke Jepun sebagai pelatih teknikal.\nUntuk penyelarasan yang lebih baik antara kedua-dua buah negara, Kedutaan Pakistan di Tokyo turut menganjurkan webinar. Para peserta diberi taklimat tentang penghantaran tenaga kerja melalui organisasi seperti Universiti Teknologi Nasional dan Perbadanan Pekerjaan Luar Negara ke Jepun sebagai pelatih teknikal.\u00a0Bercakap kepada webinar itu, Duta Pakistan ke Jepun, Imtiaz Ahmed dan Setiausaha, Kementerian Pakistan Luar Negara dan Pembangunan Sumber Manusia memberikan taklimat kepada para peserta tentang tindakan yang diambil oleh kerajaan Pakistan." "Jom, Jadi Usahawan!\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada umumnya, pandemik COVID-19 yang melanda dunia memberikan kesan yang cukup besar kepada masyarakat di negara ini, khususnya dari aspek sosioekonomi. Oleh hal yang demikian masyarakat Malaysia disarankan agar berani merebut peluang meneroka bidang keusahawanan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi pasca-COVID-19.\nDemi membantu masyarakat Malaysia menjadi usahawan, Unclezam\u00a0Holding\u00a0Berhad yang popular dengan jenama Zamburger mengajak orang ramai yang berminat untuk program Zamburger JV. Modus operandi program ini ialah Zamburger akan memegang syer sebanyak 30%, manakala sebanyak 70% syer lagi akan dipegang oleh peserta program. Program ini hanya memerlukan modal serendah RM7000.00 kepada sesiapa yang berminat untuk menyertainya.\nMenurut Norizam Tukiman atau Uncle Zam, pengasas yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan Unclezam\u00a0Holding Berhad, Zamburger akan menguruskan operasi gerai burger seperti membekalkan bekalan bahan mentah dan pekerja, manakala peserta hanya membuat promosi mengikut syarat yang ditetapkan oleh pihak syarikat.\n\u201cSaya menyasarkan untuk membuka 1000 buah gerai burger menerusi program ini. Walau bagaimanapun, kami berdepan dengan kekangan disebabkan oleh pandemik dan kelewatan tempahan gerai burger daripada pihak luar. Oleh itu, pihak kami sedang merancang untuk melakukan sedikit perubahan pada gerai burger supaya tempahan gerai dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan.\u201d\n\u201cTujuan utama saya mewujudkan program ini adalah untuk membantu masyarakat meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka. Kini, program Zamburger JV mempunyai 10 buah gerai burger di sekitar Johor, Melaka dan Kuala Lumpur. Kami mahu meluaskan program ini ke seluruh negara dan menyasarkan sekurang-kurangnya 300 buah gerai burger pada tahun 2022,\u201d jelas Uncle Zam\n\u201cSelepas melihat kejayaan program Zamburger JV ini, saya merancang untuk mengambil alih perniagaan sate dan mahu membuat program yang serupa dengan Zamburger JV. Konsep yang akan digunakan sama seperti konsep yang diaplikasikan dalam Zamburger JV,\u201d ujar beliau." "Ke Arah Pendigitalan Negara yang Holistik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang diadakan buat kali pertama bagi tahun 2022 yang turut dihadiri oleh Menteri-Menteri serta Ketua Jabatan dan Agensi yang terlibat secara dalam talian memutuskan untuk:\ni. Perubatan pintar menyasarkan\u00a0penubuhan hospital yang menggunakan teknologi 5G\u00a0bagi meningkatkan taraf penjagaan kesihatan rakyat.\nii.\u00a0Bandar Pintar\u00a0menyasarkan pelbagai kes kegunaan (use cases) berguna bagi memastikan kelestarian kehidupan yang lebih bermakna.\nMesyuarat juga mengambil maklum tentang kemajuan dan pencapaian inisiatif berikut:\ni. Melalui\u00a0Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), sebanyak 1.89 juta premis baharu yang diliputi dengan capaian gentian optik dan sebanyak 1189 menara 4G baharu\u00a0 dibina dari bulan September 2020 hingga bulan Disember 2021. Di bawah Fasa 1, sebanyak 6.85 juta premis diliputi dengan capaian gentian optik dan liputan 4G di kawasan berpenduduk mencatatkan 95% setakat 31 Disember 2021.\nii. Digital Nasional Berhad (DNB) juga telah memulakan akses kepada rangkaian borong 5G di mana sebanyak 500 tapak 5G telah diaktifkan setakat 31 Disember 2021 di WP Putrajaya, Cyberjaya dan WP Kuala Lumpur. DNB juga menyasarkan 3,500 tapak (bersamaan 36% liputan di kawasan berpenduduk) pada penghujung tahun 2022.\niii. Melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK), sebanyak 883 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) sedang beroperasi manakala 28 lagi akan beroperasi menjelang 31 Mac 2022 di seluruh Malaysia. Inisiatif ini menyediakan akses internet kolektif serta program keusahawanan kepada masyarakat setempat.\n19 Februari 2022 merupakan ulang tahun pertama pelancaran Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) serta pengenalan MyDIGITAL sebagai satu inisiatif kerajaan untuk mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi serta peneraju serantau dalam ekonomi digital.\nBeberapa program telah dan akan dilaksanakan sepanjang bulan Februari dan Mac, seperti Technopreneur Industry Dialogue, beberapa siri dialog anjuran World Bank dan MyDIGITAL Corporation, Program Transformasi Digital Pasar Siti Khadijah di Kota Baru, Kelantan, Sesi Perbincangan Meja Bulat mengenai Islamic Digital Technology, dan Program Celik Digital Penjawat Awam.\nKeberhasilan MyDIGITAL akan menjadi penentu kejayaan pendigitalan Keluarga Malaysia seperti yang diharapkan menjelang tahun 2030 nanti." "Isu Bahasa Rojak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPenggunaan bahasa rojak yang bererti bahasa campuran antara lebih satu bahasa dapat dinilai daripada dua sudut pandang. Penggunaannya dalam perhubungan tidak rasmi, seperti perbualan, kurang kesan buruknya kerana terbatas khalayaknya. Tetapi penggunaan bahasa rojak dalam urusan rasmi, apatah lagi disiarkan oleh media, meninggalkan kesan buruk yang berganda. Kebiasaan itu, lebih-lebih lagi jika digunakan oleh orang ternama, seperti pemimpin dan tokoh bidang tertentu, mendorong sebahagian anggota masyarakat mengikut tabiat itu. Lambat-laun bahasa rojak dianggap hal yang lumrah. Hal itu berbahaya bagi kemantapan sesuatu bahasa.\nAda anggapan salah bahawa bahasa Melayu sukar dikuasai sehingga masyarakat menggunakan bahasa rojak untuk lebih faham. Yang sukar ialah sikap sebahagian pengguna bahasa yang mungkin mengambil jalan pintas dan tidak berusaha mempelajari bahasa atau merujuk bahan yang sebahagiannya di hujung jari, kerana terdapat dalam Internet. Soal sukar atau mudah bahasa bergantung pada keperluan dan keadaan. Bagi keperluan dan suasana biasa, ragam bahasa basahan yang mudah boleh digunakan, tetapi untuk suasana rasmi dan keperluan ilmu, misalnya, diperlukan ragam bahasa rasmi. Pendeta Za\u2019ba sejak tahun 1930-an telah menjelaskan adanya \u201cbahasa cakap\u201c dan \u201cbahasa surat\u201c.\nDalam perhubungan yang tidak rasmi, bahasa rojak mungkin dianggap biasa oleh sesetengah orang. Kita tidak perlu terlalu risau kerana sifatnya sementara, tetapi apabila\u00c2\u00a0bahasa rojak digunakan dengan kerap dan meluas dalam perhubungan rasmi, kesannya buruk, kerana mungkin terbit dalam media cetak atau media elektronik dan mudah mempengaruhi masyarakat.\nPenggunaan bahasa rojak secara leluasa dapat mengurangkan penghargaan kepada bahasa sendiri, terutama dalam pilihan kata dan ungkapan. Sebahagian pengguna bahasa rojak malah berasa bangga dengan berselang-seli menggunakan kata dan ungkapan dalam bahasa sendiri dan bahasa asing, supaya kelihatan terpelajar atau menguasai bahasa asing.\nTentang anggapan bahawa bahasa rojak berkaitan dengan keperluan menguasai bahasa Inggeris untuk mendalami ilmu, menguasai teknologi dan ekonomi, tidak ada keperluan seseorang berbahasa rojak. Bahasa Melayu yang baik dapat menjelaskan konsep dan huraian ilmu walaupun ada keperluan menggunakan istilah dan rangkai kata yang bersumberkan bahasa asing yang telah diubah suai menjadi istilah dan rangkai kata bahasa Melayu. Jika ada keperluan menggunakan sesetengah istilah atau rangkai kata dalam bahasa asing disebabkan belum ada padanannya dalam bahasa Melayu, hal itu dapat dilakukan dengan mencetaknya dalam bentuk miring sebagai tanda kata dan ungkapan asing. Hal itu bukan bahasa rojak tetapi peralihan kepada istilah dan rangkai kata yang disebut \u201cperalihan kod\u201c seperti petikan perkataan tokoh, petikan ayat al-Quran yang bukan bahasa rojak atau campur baur antara bahasa Melayu dengan bahasa lain secara tidak beraturan.\nMasalah pengguna bahasa rojak berkaitan dengan masalah kejiwaan. Antaranya termasuklah kurang rasa hormat dan bangga akan bahasa sendiri kerana salah sangka tentang nilai bahasa. Saya pernah bertugas di Eropah dan di China dan saya dapati nilai mereka kepada bahasa sendiri sangat tinggi. Bahasa asing penting dipelajari tetapi bukan digunakan dengan cara \u201csekerat belut, sekerat ular\u201c atau untuk memperagakan taraf sosial.\nKesan paling besar ialah merosotnya nilai bahasa Melayu tinggi, iaitu bahasa untuk ilmu, pemikiran, pentadbiran, undang-undang dan yang lain. Kelak yang lebih menonjol ialah bahasa Melayu basahan dan bahasa pasar. Bahasa basahan dan bahasa pasar ada tempatnya tetapi yang menampilkan peradaban atau tamadun ialah bahasa Melayu tinggi, sebagaimana bahasa Arab ada \u201cfusha\u201c, bahasa Inggeris ada \u201cstandard English\u201c dan bahasa Mandarin ada \u201cputonghua\u201c.\nOleh itu, diperlukan usaha pemupukan bahasa secara berterusan melalui sektor pendidikan, media, pentadbiran dan sektor lain. Penggunaan bahasa rojak dapat diimbangi dengan usaha memperbanyak bahan ilmu, maklumat dan hiburan yang terkawal bahasanya, terutama melalui media elektronik seperti aplikasi, pelantar dan media sosial." "Portal Halal Ria Menjadi Pusat Sehenti Usahawan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan perasmian Malaysia Halal Marketplace 2022 anjuran YKS, Bahagian Perancang Ekonomi negeri Perlis dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Dewan Kecemerlangan UniMAP.\nYayasan Keusahawanan Sosial (YKS) membangunkan portal keahlian, pengiklanan dan perniagaan islam Halal Ria kerana platform digital amat penting dalam perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan menjadi pemudah cara urusan perniagaan setempat dan antarabangsa.\nBaginda bertitah bahawa portal Halal Ria merupakan pusat sehenti, menyediakan pelbagai aplikasi bagi memudahkan pendaftaran perniagaan, padanan perniagaan, tawaran diskaun dan saluran pengiklanan tempatan\u00a0 dan antarabangsa yang dikendalikan secara dalam talian dengan lebih baik.\n\u201cSumbangan PKS penting terhadap ekonomi negeri dan menyediakan peluang pekerjaan kepada orang ramai. Beta berharap agar proses keberhasilan ekonomi digital dalam kalangan peniaga dapat diperkasakan,\u201d titah baginda.\nTitah baginda lagi, portal itu juga bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang lebih mesra peniaga, usahawan dan profesional bagi meningkatkan daya saing industri dan memacu pertumbuhan ekonomi.\n\u201cBeta berharap agar usahawan kecil dan sederhana memanfaatkan peluang ini dan mendaftar untuk memajukan perniagaan masing-masing melalui portal Halal Ria,\u201d titah baginda.\nPengarah YKS, Encik Amirul Shakirin Amar berkata objektif pelancaran portal adalah untuk menyediakan pasaran dalam talian halal terkemuka kepada usahawan dan masyarakat di rantau Asia Tenggara dan Timur Tengah. \u201cKita juga dapat mempromosikan produk dan perkhidmatan halal kepada pengguna Islam dan bukan Islam,\u201d katanya.\nPlatform e-dagang halal itu merupakan satu ekosistem halal yang merangkumi produk makanan halal, perjalanan halal, fesyen, pelancongan mesra muslim, kosmetik halal, farmasi halal dan produk pengguna." "Rahsia BIZMILLA Bertahan Ketika Pandemik COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan merupakan tempoh yang paling sukar sepanjang lebih 12 tahun kami berkecimpung dalam dunia perniagaan. Kami terpaksa memperuntukkan lebih banyak wang untuk kegunaan kecemasan. Kebajikan setiap pekerja merupakan keutamaan syarikat. Namun begitu, pekerja kami tetap mendapat gaji mereka ketika PKP.\n\nSaya bersyukur apabila BIZMILLA dapat bertahan hingga kini walaupun terkesan oleh pandemik COVID-19. Hal ini disumbangkan melalui kerjasama pasukan yang kreatif. Kami mengambil keputusan untuk mempelbagaikan jenis perniagaan kami seperti menjual durian, nasi Arab, kek, dan sebagainya. Saya juga turun padang untuk bersama-sama staf saya untuk membantu melancarkan perniagaan tersebut.\nSaya menerima cabaran dari sudut pandang yang positif kerana dalam tempoh krisis tersebut, saya dapat membina kekuatan dalaman dan jati diri yang kuat untuk menghadapi dunia perniagaan. Satu daripada cabaran\u00a0 yang dihadapi oleh BIZMILLA ialah pembatalan majlis disebabkan oleh PKP yang tidak membenarkan penganjuran apa-apa majlis yang melibatkan orang ramai, dari tahun 2020 hingga tahun 2021. Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana tahun 2022\u00a0 ini merupakan tahun pemulihan dan perkembangan semula BIZMILLA." "Bantuan RM1500 kepada Pemandu Pelancong Berlesen\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya atau Ministry of Tourism and Culture (MOTAC) menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM1500.00 kepada Pemandu Pelancong Berlesen di bawah Belanjawan 2022. Untuk mendapatkan bantuan ini, MOTAC menetapkan syarat kelayakan seperti yang berikut:" "SPIM Bantu Usahawan Pulih Perniagaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJohor Bahru \u2013 Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui agensinya TEKUN Nasional melancarkan SPIM bagi membantu usahawan informal dan mikro untuk memulih dan memulakan semula perniagaan yang terjejas wabak COVID-19 dan bencana banjir.\nSkim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) dibuka untuk permohonan dari 1 hingga 15 Januari yang lalu, dengan dana yang diperuntukkan berjumlah RM200 juta. YB Tan Sri Noh\u00a0 Haji Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, \u201cMelalui SPIM, usahawan ditawarkan dengan nilai pembiayaan hingga RM10 000.00 tanpa caj keuntungan dan moratorium selama 12 bulan.\u201d\n\u201cTEKUN Nasional menerima permohonan yang terlalu tinggi dalam masa yang singkat untuk pembiayaan SPIM ini. Dana yang sepatutnya untuk penyaluran setahun habis dalam tempoh dua minggu. Sebanyak 23 767 permohonan diterima hingga 15 Februari 2022. Sebanyak 15 902 permohonan diluluskan dengan nilai RM130.5 juta,\u201d tambah beliau.\nNoh turut menjelaskan, \u201cBagi memastikan kelancaran permohonan SPIM, TEKUN Nasional mengambil langkah penambahbaikan dengan menaik taraf sistem permohonan secara dalam talian. Penambahbaikan tersebut perlu dilakukan bagi menampung bilangan permohonan yang terlalu tinggi. Walau bagaimanapun, dalam proses tersebut, terdapat isu teknikal yang timbul yang sistem tersebut digodam dan menyebabkan berlaku kelewatan dalam memproses permohonan, kelulusan dan penyaluran pembiayaan. Susulan itu, pihak TEKUN membuat laporan polis pada 16 Februari 2022.\u201d\nTEKUN mengambil Langkah untuk mengatasi isu ini secepat mungkin. Antaranya penyaluran pembiayaan ini dilakukan melalui cetakan cek yang diagihkan ke setiap Pejabat TEKUN Cawangan di seluruh negara. Hal ini demikian kerana penyaluran pindahan dana elektronik tidak dapat dilaksanakan kerana gangguan teknikal tersebut. Hingga kini, TEKUN Nasional menyalurkan pembiayaan berjumlah RM110.1 juta kepada 13 370 orang usahawan di bawah SPIM melalui cetakan cek dan pindahan dana elektronik. Penyaluran pembiayaan ini dijangka dapat diatasi sepenuhnya pada pertengahan bulan Mac ini,\u201d ujar beliau.\nBagi memastikan usahawan yang terkesan dapat dibantu secepat mungkin, Noh bersama-sama Pengurusan TEKUN turun padang untuk menyerahkan 54 cek pembiayaan SPIM bernilai RM367 000.000 kepada usahawan yang terlibat sekitar Parlimen Iskandar Puteri dan Pulai Johor hari ini.\nPada masa ini, usahawan boleh hadir ke Pejabat TEKUN Cawangan berhampiran untuk mendapatkan maklum balas berkenaan permohonan pembiayaan. Sejak diwujudkan pada tahun 1998 hingga Januari 2022, TEKUN Nasional menyalurkan pembiayaan kepada 498 733 orang usahawan dengan nilai RM7 bilion di seluruh negara. Hal ini menunjukkan bahawa kerajaan melalui TEKUN Nasional sememangnya komited membantu usahawan Bumiputera." "Bamboo One-Stop Centre Pusat Rujukan Usahawan Buluh Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBanting \u2013 Bamboo One-Stop Centre yang akan dibina ini bakal menjadi pusat maklumat dan rujukan kepada lebih banyak usahawan buluh Malaysia. \nMenteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Penubuhan Bamboo One-Stop Centre\u00a0 antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) serta pihak swasta iaitu Tadom Hill Resort Sdn. Bhd. Bamboo One-Stop Centre\u00a0ini akan dibangunkan di Tadom Hill Resort Sdn. Bhd. terletak di Banting, Selangor yang akan berperanan sebagai pusat rujukan setempat industri buluh bagi menggalakkan pembangunan industri buluh negara.\nTadom Hill Resort merupakan sebuah pusat penginapan ekopelancongan berkeluasan 45 ekar bertemakan taman buluh yang unik serta dikelilingi kampung Orang Asal dari Suku Temuan. Lokasinya yang strategik merupakan satu kelebihan dan kemudahan bagi menyambut kedatangan pengunjung dari dalam negara dan luar negara.\nSelain ekopelancongan, Tadom Hill juga mengambil langkah proaktif menghasilkan produk buluh komersial seperti cuka dan bio-arang buluh (bamboo bio-char). Usaha ini adalah selari dengan hasrat kerajaan dalam usaha mentransformasikan industri buluh bagi peralihan struktur industri kecil-kecilan kepada industri hiliran yang mengeluarkan produk buluh yang bernilai tambah tinggi dan lestari, sebagai antara fokus dalam RMK-12.\nMalaysia dianggarkan mempunyai lebih daripada 70 spesies buluh. Sebanyak 45\u00a0 spesies buluh tempatan\u00a0 tumbuh secara semula jadi di kawasan hutan. Hingga kini, terdapat seramai 577 orang pengusaha yang terlibat secara langsung dalam industri berasaskan buluh di Malaysia merangkumi industri papan buluh, perabot, pembinaan, tekstil, perladangan, makanan, arang buluh, dan kraftangan.\nBamboo One-Stop Centre yang akan dibina ini bakal menjadi pusat maklumat dan rujukan kepada lebih banyak usahawan buluh Malaysia di sepanjang rantaian nilai industri buluh. Di samping itu, pusat rujukan ini akan berperanan sebagai pusat informasi setempat termasuk promosi, penyelidikan dan pembangunan berkaitan industri buluh di Malaysia.\nKementerian melalui MTIB dan MTC akan meneruskan usaha memperkasakan pembangunan industri buluh negara dengan pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif. Kementerian yakin dengan inisiatif seperti program penyelidikan, pembangunan dan galakan yang berterusan, industri buluh berupaya mengoptimakan penggunaan sumber bahan mentah ini sebagai sumber alternatif yang bernilai tambah dalam industri perkayuan dan seterusnya menjadi satu bidang agrikomoditi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat dan seterusnya menjanakan ekonomi negara." "RM570 000 Bantuan Persekolahan Yayasan Bank Rakyat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJohor \u2013 (YBR) menyediakan peruntukan bantuan persekolahan bernilai RM570 000 kepada 5700 orang murid sekolah rendah dan menengah pada 26 buah lokasi di Johor bersempena dengan pembukaan semula sesi persekolahan pada bulan Mac akan datang.\nReplika cek bantuan persekolahan disempurnakan oleh Yang Berhormat Tan Sri Noh Haji Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kepada wakil-wakil pemimpin tempatan. Turut hadir dalam sesi penyampaian ialah Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin, Dato\u2019 Nur Jazlan Mohamed, wakil pemimpin tempatan Pulai, Tuan Haji Mohammad Khairi Haji A.Malik, wakil penduduk tempatan Iskandar Puteri, Syaiful Rizal Abdul Ghani Ketua Bahagian Operasi Menanggung Tugas Pengurus Besar YBR, serta Mohamad Ghazali Zainal Abidin Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR.\n\u00a0\n\nBantuan persekolahan disempurnakan oleh Yang Berhormat Tan Sri Noh Haji Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (bertopi).\nSementara itu, Megat Zulkarnain berkata, sumbangan ini juga diharapkan dapat membantu mereka, terutamanya yang berada dalam kalangan keluarga B40 bagi meringankan urusan kewangan untuk menyediakan kelengkapan persekolahan bagi pembelian set baju, kasut dan stoking atau beg sekolah mengikut kesesuaian masing-masing.\nCakna dengan situasi masyarakat yang terkesan akibat gelombang COVID-19 yang melanda dan melihat kepada keadaan ekonomi yang tidak menentu, bantuan persekolahan dalam bentuk wang tunai sebanyak RM100.00 bagi persiapan persekolahan diharapkan akan dapat membantu para ibu bapa atau penjaga membuat persiapan awal untuk anak-anak dalam memulakan sesi akademik persekolahan 2022/2023.\n\u201cBantuan yang disalurkan kepada mereka yang layak ini sedikit sebanyak dapat memberikan suntikan semangat kepada anak-anak untuk terus menuntut ilmu serta sebagai tanda ikhlas YBR dalam membantu mereka yang memerlukan dalam meneruskan kehidupan,\u201d kata beliau.\nHingga kini, sebanyak 39 397 orang murid menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5.12 juta sejak tahun 2018. Bagi tahun 2022, sejumlah RM2.75 juta diperuntukkan dalam program bantuan persekolahan." "Semak Status Sekatan Perjalanan Sebelum ke Luar Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin memberikan saranan kepada semua pembayar cukai agar membuat semakan status sekatan perjalanan terlebih dahulu sebelum merancang untuk ke luar negara bagi sebarang tujuan. Sekatan perjalanan ke luar negara adalah tindakan yang dikenakan oleh HASiL kepada individu dan pengarah syarikat yang tidak menjelaskan Cukai Pendapatan, Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) dan Cukai Syarikat. Pemakluman tindakan tersebut akan dibuat ke alamat terakhir yang dikemas kini oleh pembayar cukai kepada HASiL melalui data percukaian terkini yang direkodkan.\nPembayar cukai boleh menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan melalui portal MyTax di pautan https://mytax.hasil.gov.my/\nSemakan sekatan perjalanan juga boleh dibuat di laman web Jabatan Imigresen Malaysia di https://sspi.imi.gov.my/sspi/\nSekiranya pembayar cukai mempunyai tunggakan cukai dan dilarang ke luar negara, mereka dinasihatkan untuk menghubungi pejabat cawangan HASiL yang mengendalikan fail cukai mereka bagi tindakan sewajarnya.\nSebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada:\na) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);\nb) HASiL Live Chat, dan\nc) Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/" "Tabung Haji\u00a0Lantik Standard Chartered Saadiq Sebagai Ejen Kutipan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan pelantikan Standard Chartered Saadiq Berhad (Standard Chartered Saadiq) sebagai ejen kutipan TH yang baharu mulai 15 Januari 2022. Kerjasama ini akan memberikan manfaat kepada lebih 8.4 juta orang pendeposit TH, khususnya yang mempunyai akaun di Standard Chartered Saadiq.\nMenerusi lantikan ini, para pendeposit TH yang juga pelanggan Standard Chartered Saadiq boleh membuat deposit ke akaun simpanan TH i atau pihak ketiga melalui portal Internet bank tersebut. Inisiatif ini akan memudahkan pelanggan kedua-dua organisasi untuk melakukan deposit ke akaun simpanan TH tanpa perlu hadir ke kaunter cawangan TH.\n\u201cLantikan Standard Chartered Saadiq sebagai ejen kutipan terbaharu TH ini pastinya akan meningkatkan lagi akses perkhidmatan TH seluruh negara. Penggunaan saluran dalam talian terbukti mendapat sambutan baik oleh para pendeposit TH apabila rekod menunjukkan lebih 80 peratus transaksi TH telah dilakukan dalam talian meliputi portal THiJARI, ATM dan CDM serta perbankan Internet bank-bank rakan strategik TH yang lain. Pastinya urusan perbankan akan lebih memudahkan kedua-dua para pelanggan TH dan Standard Chartered Saadiq,\u201d kata Dato\u2019 Sri Amrin Awaluddin, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH.\n\u201cDi Standard Chartered, kami sering berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan penggunaan digital di kalangan pelanggan kami. Kami yakin kolaborasi melalui digital Bersama-sama TH ini akan memberikan nilai tambah dan kemudahan perbankan kepada semua pelanggan Muslim TH dan bank, di mana jua mereka berada, sama ada di Malaysia atau luar negara,\u201d kata Mohd Suhaimi Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Saadiq Berhad.\n\u201cKami juga akan menambahkan penawaran digital, seiring dengan usaha kami untuk memperkukuhkan posisi Standard Chartered Saadiq sebagai Bank Islamik Digital terbaik di Malaysia \u2013 seperti yang dianugerahkan oleh Digital CX Awards 2021 dan juga oleh Global Finance untuk tiga tahun berturut-turut,\u201d tambah beliau.\nBagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan rakan strategik terkini TH atau sebarang perkhidmatan lain yang ditawarkan TH, orang ramai boleh merujuk www.tabunghaji.gov.my atau menghubungi talian THCC di 03-6207 1919." "Semarak Niaga Manfaat RM40 Bilion Bagi Sektor Peniagaan, Pemerkasaan PMKS\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Inisiatif Semarak Niaga Keluarga Malaysia (\u201cSemarakNiaga\u201d)\u00a0bernilai RM40 bilion yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan\u00a0sebahagian daripada strategi induk Belanjawan 2022 untuk membantu sektor perniagaan bangkit semula, terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).\nSemarak Niaga bertujuan membina keupayaan dan daya saing sektor perniagaan melalui, antara lainnya, akses kepada pembiayaan dan pinjaman mudah; pembiayaan ekuiti serta jaminan pembiayaan.\nSetiap jenis perniagaan, daripada PMKS kepada syarikat tersenarai awam digalakkan untuk merebut pelbagai peluang dan manfaat yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan melalui Semarak Niaga; dan maklumat lanjut boleh didapati di portal Manfaat Bajet 2022\nhttp://budget.mof.gov.my/manfaat/semarakniaga.html\nDengan nilai keseluruhan\u00a0lebih RM40 bilion, Semarak Niaga menawarkan empat kemudahan utama seperti berikut:\nSelain itu, sektor perniagan juga boleh memanfaatkan pelbagai inisiatif lain di dalam Bajet 2022\u00a0bagi memudahkan urusan perniagaan, terutamanya dalam peralihan kepada dunia pasca COVID-19.\u00a0Hal ini termasuklah\u00a0lanjutan potongan cukai ke atas kos pengubahsuaian dan pembaharuan premis hingga\nRM300 000.00 bagi menyokong pematuhan Prosedur Operasi Standard\u00a0seperti menambahbaik pengudaraan serta\u00a0potongan cukai tambahan hingga RM50 000.00 terhadap perbelanjaan sewaan premis penginapan pekerja.\nDari segi pemulihan sektor-sektor yang amat terkesan, Belanjawan 2022 juga menyediakan bantuan bernilai RM1.6 bilion untuk industri pelancongan, RM238 juta bagi industri kreatif dan RM307 juta untuk industri peruncitan.\nKesemua inisiatif ini bakal membangkitkan semula sektor perniagaan dan komuniti usahawan, yang secara langsung\u00a0akan menyumbang kepada penciptaan 600 000 peluang pekerjaan. Ini akan mengurangkan kadar pengangguran dengan unjuran di paras kurang dari 4.0% menjelang hujung tahun ini.\nInisiatif Semarak Niaga dan penciptaan pekerjaan merupakan dua tonggak utama Bajet 2022 ke arah pemulihan ekonomi,\u00a0yang akan menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) di antara 5.5% hingga 6.5% pada tahun 2022.\nKementerian Kewangan (MOF) sentiasa peka dan responsif bagi memastikan negara berada di landasan pemulihan ekonomi yang kukuh. MOF juga kekal fokus kepada kebertanggungjawaban fiskal dan pelaksanaan reformasi struktur yang strategik bagi memastikan ekonomi kekal berdaya tahan dalam jangka sederhana dan panjang, iaitu sebanyak RM50 000.00 \u00a0ke atas perbelanjaan sewaan premis penginapan pekerja." "Program Jualan Keluarga Malaysia Manfaat untuk Rakyat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Sambutan pengguna dan peniaga terhadap Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) amat menggalakkan di seluruh Malaysia sejak program ini dilancarkan secara rasmi oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Dato\u2019 Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia pada 2 Disember 2021.\nMaklum balas pengguna yang diterima rata-rata menyambut baik dan meminta PJKM ini dilaksanakan secara berkala dan mengakui bahawa harga barang-barang yang dijual dapat meringankan bebanan kos sara hidup rakyat dalam situasi harga barang yang dilaporkan kian meningkat.\nHingga 14 Februari 2022, sebanyak 1 181 376 orang pengunjung membanjiri PJKM di 775 buah lokasi seluruh negara dengan nilai jualan yang dicatatkan berjumlah lebih daripada RM22.85 juta.\nSehubungan dengan itu dan atas permintaan YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri yang mahu rakyat pelbagai strata ekonomi di seluruh pelosok negara turut mendapat manfaat. PJKM kini diperluas meliputi kawasan-kawasan Parlimen luar bandar yang menawarkan barang-barang keperluan dengan harga hingga 20% lebih murah daripada harga pasaran setempat.\nPJKM menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga berpatutan yang lebih murah, antaranya termasuklah ayam, ikan, telur, sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras, dan barangan keperluan rumah terpilih.\nPenyertaan daripada pembekal, pemborong dan peruncit juga amat menggalakkan dalam membantu usaha kerajaan menangani kenaikan kos sara hidup. PJKM dijalankan setiap minggu serentak di seluruh negara di kawasan Parlimen terpilih di lokasi berdekatan dengan golongan sasar, iaitu B40 dan M40. Kebiasaannya, PJKM diadakan selama dua hari pada hujung minggu mengikut negeri seawal jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang bergantung pada stok barang yang ada.\nDi samping sambutan pengguna, faktor kejayaan PJKM ialah kerjasama erat antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan agensi-agensi kerajaan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) seperti FAMA Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta rakan-rakan strategik sektor peruncitan.\nHingga kini, sebanyak 113 rakan strategik mengambil bahagian melaksanakan program PJKM di seluruh negara. KPDNHEP mengingatkan semua peniaga agar sentiasa beretika serta mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan. KPDNHEP juga berharap pengguna tidak melakukan pembelian panik yang akan mengganggu kestabilan bekalan dan harga barang. PJKM\nini harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua untuk berjimat mengurangkan belanja dapur seharian. Lebih daripada 2200 orang Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP akan terus menjalankan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan tiada elemen pencatutan dalam pasaran.\nUntuk sebarang pertanyaan lanjut dan aduan:" "Bahasa Melayu Bahasa Penyatuan Bangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\n\nKUALA LUMPUR \u2212Bahasa Melayu merupakan alat penyatuan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Demikianlah rumusan program Bicara Bahasa dan Sastera Pelbagai Kaum yang bersiaran secara langsung pada pagi tadi melalui media sosial DBP. Program anjuran Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum ini menampilkan para panel yang mapan dan mampan dalam bidang masing-masing, iaitu Dr. Lim Swee Tin, Suwanlerd Pro Poul, Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman, Zainal Abidin Suhaili dan Datuk Jasni Matlani.\nMenurut penerima Anugerah SEA Write pada tahun 2000, Dr. Lim Swee Tin, sistem pendidikan satu aliran sebelum wujudnya sekolah vernakular, iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Sekolah Menengah Persendirian Cina telah memperlihatkan nilai dampak bahasa Melayu sebagai bahasa penyatuan. Tambahnya lagi, barisan ahli panel yang diundang dalam program Bicara Bahasa dan Sastera yang bertajuk \u201cBahasa dan Sastera Milik Bersama\u201c ini secara tidak langsung adalah ekpresi kejayaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.\nKita memiliki dan menguasai asas yang sama dalam bahasa, iaitu bahasa Melayu dan hal ini .\nBagi diri penulis terkenal dari Sabah yang juga penerima Anugerah SEA Write pada tahun 2015, iaitu Datuk Jasni Matlani, beliau bersetuju bahawa pemerkasaan karya, terutama dalam kalangan penulis Sabah dan Sarawak boleh dilakukan melalui penggunaan bahasa kebangsaan.\nSebagai rakyat, kita harus memperkasakan lagi bahasa kebangsaan sesuai dengan kehendak perlembagaan.\nSelain itu, permintaan dunia terhadap bahasa Melayu kini semakin bertambah. Tidak dinafikan bahawa hal ini membuktikan kebolehpasaran bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Demikianlah menurut Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman, seorang penggiat sastera yang sering terlibat dalam kegiatan sastera di luar negara.\nDalam dunia sastera khususnya pula, para penulis harus sedar dan faham akan fungsi serta peranan masing-masing agar megah akan bahasa kebangsaan dan akhirnya tiada lagi situasi yang memaparkan rakyat negara ini yang tidak mahir atau faham akan bahasa Melayu. Hal ini dikupas dengan baik oleh penerima Anugerah SEA Write pada tahun 2017, iaitu Zainal Abidin Suhaili atau nama penanya, Abizai.\nTambah Suwanlerd Pro Poul, seorang penggiat sastera berketurunan Siam pula, masyarakat pelbagai kaum, khususnya masyarakat Siam Malaysia harus menyokong dan mendukung aspirasi ini kerana kita ialah warga Malaysia." "Kempen Mencarum PERKESO Usahawan TEKUN\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJohor Bahru \u2013 Sebanyak 25 000 orang usahawan TEKUN Nasional disasarkan mendaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) menerusi Kempen Mencarum PERKESO Usahawan TEKUN yang dilancarkan pada hari ini.\nKempen hasil kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya, PERKESO dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi agensinya, TEKUN Nasional ini bermatlamat meningkatkan kesedaran golongan usahawan mengenai kepentingan perlindungan keselamatan sosial, di samping menggalakkan mereka mencarum dengan PERKESO.\nKempen ini juga merupakan satu inisiatif proaktif untuk memastikan jaringan perlindungan keselamatan sosial semakin diperluaskan kepada golongan Orang Bekerja Sendiri (OBS), khususnya dalam kalangan usahawan di Malaysia. Bagi memastikan golongan ini dilindungi dan menggalakkan mereka mendaftar dengan\nPERKESO, TEKUN Nasional akan menawarkan perkhidmatan pembiayaan caruman SKSPS menerusi skim pembiayaan yang dibuat oleh usahawan TEKUN. Majlis pelancaran Kempen Mencarum PERKESO Usahawan TEKUN ini disempurnakan oleh Yan Berhormat (YB) Tan Sri Noh Haji Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan disaksikan oleh YB Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia.\nYB Tan Sri Noh Haji Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) ketika ditemui berkata, \u201cHingga kini sebanyak 16 830 orang usahawan TEKUN mencarum di bawah SKSPS. Oleh itu, kempen ini mendokong matlamat untuk menarik lebih banyak usahawan TEKUN untuk mencarum SKSPS. Saya juga berharap TEKUN Nasional dapat memikir dan mempertimbangkan kaedah semua usahawan TEKUN dapat diwajibkan untuk mencarum dengan PERKESO sepanjang tempoh pembiayaan, pada masa akan datang.\u201d\nYB Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia pula berkata, \u201cKSM menyambut baik dan menghargai sokongan yang dizahirkan oleh MEDAC menerusi TEKUN Nasional untuk mendaftar dan mencarumkan para usahawan mereka sepertipengusaha, penjaja dan peniaga kecil dengan SKSPS PERKESO. Saya juga yakin bahawa usaha untuk memberikan perlindungan sosial kepada mereka ini bukan sahaja akan disambut baik oleh para usahawan TEKUN, malah turut akan memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka dan insan yang mereka sayangi sentiasa terjaga dan terpelihara.\u201d\nPada majlis yang sama, turut dianjurkan sesi taklimat khas mengenai SKSPS PERKESO kepada usahawan TEKUN, sesi penyerahan nota perlindungan PERKESO, penyampaian watikah pelantikan kepada TEKUN sebagai ejen dan pemberian tuntutan faedah PERKESO kepada pencarum OBS.\nBerdasarkan statistik PERKESO, hingga 18 Februari 2022, sebanyak 360 469 atau kira-kira 15% OBS di seluruh negara\u00a0 mencarum dengan SKSPS, daripada jumlah keseluruhan OBS di seluruh Malaysia, iaitu kira-kira 2.38 juta.\nSementara itu, lebih daripada RM6 juta telah dibayar oleh PERKESO kepada sebanyak 2142 orang penerima faedah dalam kalangan OBS. Jumlah tersebut, termasuklah sebanyak 169 penerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) yang diterima oleh waris OBS bagi kes yang melibatkan kematian semasa menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri.\nSejak 1 Jun 2017, PERKESO menyediakan SKSPS untuk memberikan perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri daripada bencana pekerjaan,termasuklah penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan. Antara manfaat perlindungan keselamatan sosial yang disediakan dalam SKSPS, termasuklah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Faedah Pengurusan Mayat (FPM), Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pinjaman Pendidikan, dan Kemudahan Pemulihan Jasmani dan Vokasional." "LPN Mampu Lonjak Daya Saing Sektor Logistik Ngara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 \u201cNexus Produktiviti Logistik (LPN) mampu meningkatkan daya saing industri logistik bagi merealisasikan matlamat Malaysia untuk menjadi hab logistik serantau.\nMenurut Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Dato\u2019 Abdul Latif Haji Abu Seman, peningkatan infrastruktur logistik dan pemasaran yang lebih agresif oleh negara-negara jiran telah memberikan cabaran kepada peserta industri logistik di negara ini.\n\u201cBagi melonjakkan produktiviti sektor logistik negara, LPN akan melaksanakan inisiatif berimpak tinggi untuk membantu peniaga logistik meningkatkan daya saing melalui empat fokus utama iaitu bakat, teknologi, struktur industri dan peraturan\u201d.\n\u201cPenubuhan Produktiviti Nexus Logistik ini yang diterajui oleh industri mampu memacu sektor ini agar lebih produktif dan berdaya saing,\u201d kata Dato\u2019 Abdul Latif semasa sesi perbincangan strategik bagi penubuhan Nexus Produktiviti Logistik (LPN) bersama-sama Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT), Datuk Isham Ishak di Putrajaya baru-baru ini.\nDato\u2019 Abdul Latif turut berkata, LPN yang ditubuhkan di bawah Rancangan Malaysia Ke12 (RMKe-12) akan membantu menarik penyertaan swasta dalam meningkatkan produktiviti sektor logistik seperti yang telah dilaksanakan oleh sembilan Nexus Produktiviti yang ditubuhkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).\n\u201cRMK-12 turut menyatakan bahawa kos perkhidmatan logistik di Malaysia lebih tinggi berbanding dengan pesaing serantau. Selain itu, industri ini juga berhadapan dengan kekurangan bakat yang berkemahiran dan berpengalaman serta mempunyai ciri-ciri keusahawanan,\u201d tambah beliau.\nMenurut Dato\u2019 Abdul Latif, seperti juga isu yang menjadi tumpuan penyelesaian sembilan Nexus sebelum ini, tahap penerima gunaan teknologi dalam industri ini juga masih rendah, Nexus akan bekerjasama dengan pemain industri untuk mengenal pasti strategi terbaik untuk meningkatkan penerima gunaan teknologi yang merupakan antara faktor penting peningkatan produktiviti.\n\u201cSelaras dengan peranan besar industri ini sebagai tulang belakang kepada industri lain dan rantaian global, peningkatan produktiviti dalam subsektor ini akan memberikan kesan limpahan yang positif kepada sektor yang lain, tambah beliau.\nMenyokong penubuhan dan lantikan peneraju ini, pihak MOT juga menggalakkan agar pihak industri memanfaatkan portal MyLogistik yang telah dibangunkan oleh pihak MOT dan Pusat Geospatial Negara.\nMyLogistik merupakan aplikasi yang dapat membantu pemain industri logistik dalam merancang pergerakan barangan yang paling efisien dengan mengambil kira infrastruktur dan ketersambungan yang ada bagi penjimatan kos. Subsektor logistik menyumbang 3.1% kepada KDNK dan Guna tenaga 3.6% tahap produktiviti berbanding dengan nasional." "Menuju ke Hadapan \u201cIndustry 4WRD\u201c 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) menjadi agenda penting dalam pelaksanaan transformasi syarikat khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Syarikat perlu bersedia untuk melaksanakan Industri 4.0 untuk kekal kompetitif dan berdaya saing.\nSelaras dengan peranan MPC sebagai Sekretariat Induk Penilaian Kesediaan Industry 4WRD, program ini diperkenalkan untuk menilai tahap kesediaan syarikat, terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana dalam mengadaptasikan elemen Industri 4.0 dalam pengeluaran syarikat mereka.\nDasar Nasional Industri 4.0 \u2013 Industry4WRD yang memberikan fokus utama kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitannya di Malaysia. Menurut Ketua Pengarah MPC, Dato\u2019 Abdul Latif Haji Abu Seman, \u201cSektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitannya yang kukuh akan memberikan peluang kepada peningkatan produktiviti, mewujudkan peluang pekerjaan, melahirkan kumpulan kerja berkemahiran tinggi dan akhirnya kemakmuran ekonomi serta kesejahteraan masyarakat dapat dicapai. Pada masa yang sama, Malaysia juga diharap akan mampu mencapai kedudukan sebagai destinasi utama pembuatan pintar pada peringkat global dan menarik lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi.\u201d\nTambah beliau, \u201cProgram Industry 4WRD juga memberikan penekanan kepada strategi untuk memiliki kumpulan tenaga kerja yang tepat dengan fokus pada sistem pengurusan dalam menjalankan operasi perniagaan, rantaian bekalan dan kitaran hayat produk. Penekanan diberi kepada perkongsian strategik antara sektor awam dengan swasta untuk mengukuhkan operasi dan mampan dalam penghasilan produk agar lebih efisien.\u201d\nBagi memastikan industri di Malaysia, terutamanya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan menjadi agenda penting negara, 13 siri program Outreach\u2013The Road Ahead with Industry4WRD 2022 dirangka dengan kerjasama MITI, MIDA, SIRIM Berhad, Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), dan SME Association of Malaysia di seluruh Malaysia.\nSiri outreach pertama akan bermula pada 24 Februari 2022 di Perak. Siri outreach ini akan menyasarkan lima sektor utama, iaitu elektrik dan elektronik, jentera dan kelengkapan, peranti perubatan dan kimia, peranti perubatan, dan aeroangkasa. Walau bagaimanapun, sektor lain masih boleh menyertainya.\nSiri Outreach Program\u2013The Road Ahead with Industry4WRD 2022 ini bertujuan memastikan kelancaran pelaksanaan Industry4WRD Readiness Assessment (RA) di bawah Dasar Revolusi Perindustrian Ke-4 (4IR) Negara dan memberikan kesedaran kepada syarikat berkaitan dengan program RA dalam membantu PKS yang terlibat untuk meningkatkan tahap kecekapan operasi & pengeluaran mereka berasaskan elemen industri 4.0.\nBagi mengetahui dengan lebih lanjut cara menyertai program\u00a0 atau siri Outreach Program \u2013 The Road Ahead with Industry 4WRD 2022, orang ramai boleh mendaftar di laman sesawang MITI www.miti.gov.my di bawah seksyen Transformasi Industri \u2013 Industry4WRD." "Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19 Diwartakan Barang Kawalan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil maklum akan keperluan Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19 (Ujian Kendiri) (RTK) oleh Keluarga Malaysia sebagai satu langkah awal pencegahan penularan pandemik COVID-19.\nKPDNHEP juga mengambil maklum peningkatan kes COVID19 yang dilaporkan dalam media arus perdana akhir-akhir ini yang menyumbang kepada meningkatnya permintaan RTK di pasaran.\nBagi menjamin keberadaan dan bekalan sentiasa mencukupi di pasaran, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan mewartakan RTK sebagai barang kawalan di bawah Perintah Kawalan Bekalan (Barang-barang Kawalan) (No.6) 2021 pada 24 November 2021 yang lalu dan dikuatkuasakan pada 1 Disember 2021.\nSelain itu, KPDNHEP juga sentiasa melakukan penguatkuasaan ke atas keberadaan bekalan kit ujian ini dengan melakukan pemantauan dan pemeriksaan berkala setiap hari, terutamanya pada peringkat pengimport, pengilang, pemborong dan peruncit bagi memastikan bekalan kit ujian ini sentiasa stabil dalam pasaran dan mudah diperoleh oleh pengguna.\nBerdasarkan statistik penguatkuasaan dan pemantauan yang dilakukan, kini terdapat kira-kira 18 juta unit RTK tersedia di pasaran. Sebanyak 8084 premis runcit diberi kebenaran menjual RTK yang diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia atau Medical Device Authority (MDA).\nKini, terdapat lapan pengilang Establismen yang mendapat kebenaran bersyarat menghasilkan RTK di Malaysia yang mengeluarkan sejumlah 4.306 juta unit RTK hingga Februari 2022. Manakala, Malaysia mengimport sebanyak 2.34 juta unit RTK daripada tujuh buah negara. Jumlah keberadaan RTK tambahan di pasaran hingga hujung \u00a0bulan Februari adalah sebanyak 6.647 juta unit.\nBerdasarkan statistik, aduan berhubung kekurangan bekalan RTK menunjukkan peratus yang sangat rendah. Sejak 1 Januari hingga 21 Februari 2022, terdapat tiga aduan sahaja yang diterima oleh KPDNHEP berhubung dengan kekurangan bekalan kit ujian ini.\nJulat harga RTK di pasaran adalah antara RM4.90 hingga RM19.90 ketika ini. Kini, sebanyak 80% RTK dijual di bawah RM10.00 seunit.\nKPDNHEP memberikan amaran kepada peniaga agar terus mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan dengan penjualan RTK ini bagi mengelakkan tindakan tegas oleh KPDNHEP. Peniaga yang dikesan melakukan kesalahan berhubung dengan perkara ini boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 22, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan seperti yang berikut:\nKPDNHEP juga ingin menasihati pengguna agar tidak panik dengan situasi yang berlaku ini dengan membuat pembelian panik atau berlebihan daripada keperluan dan sentiasa berwaspada dengan kehadiran RTK yang tidak mendapat kelulusan MDA.\nKPDNHEP juga ingin menasihati orang ramai supaya meningkatkan penjagaan kesihatan dan sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard Kesihatan serta melakukan pemantauan awal terhadap diri dan keluarga bagi mengelakkan daripada dijangkiti oleh pandemik COVID-19.\nPengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga berhubung dengan bekalan dan harga RTK boleh mengemukakan aduan lengkap berserta butiran lengkap melalui saluran yang berikut:" "MAIPs Terima Zakat Perniagaan Lebih RM580 000 daripada TNB\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Perlis \u2013 Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menerima wang zakat perniagaan sebanyak RM583 330.13 bagi tahun 2020 daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB). Wang zakat tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Global Business Solutions, Ahmad Hushairi Ibrahim yang mewakili Pengerusi TNB kepada Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.\nPenyerahan wang zakat tersebut disaksikan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Dewan Orang Ramai Kampung Pulau Ketam, Kampung Seberang Ramai.\n\n\n\nDalam majlis yang sama, baginda turut berkenan membuat pelepasan sebanyak 70 orang peserta Explorace TNB 2022 yang disertai oleh ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan pengamal media Perlis." "Laporan Kredit Peminjam Menerusi eCCRIS Secara Percuma\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKini, pengguna individu baharu warganegara Malaysia boleh mendaftar akaun eCCRIS dari rumah tanpa perlu lagi ke Bank Negara Malaysia (BNM) atau Agensi Kaunseling dan pengurusan Kredit (AKPK). Pendaftaran boleh dibuat melalui eccris.bnm.gov.my selain pendaftaran sedia ada melalui kios di premis AKPK atau Elink, telelink.bnm.gov.my.\nCCRIS merupakan Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (Central Credit Reference Information System) yang dimiliki dan dikendalikan oleh BNM untuk memudahkan pengurusan risiko kredit antara bank. CCRIS memproses data yang diterima daripada institusi kewangan peserta dan menggabungkannya menjadi laporan kredit. Laporan ini menyenaraikan sejarah pembiayaan dan pembayaran balik peminjam dalam tempoh 12 bulan. Peminjam boleh mengakses laporan kredit mereka secara dalam talian menerusi eCCRIS tanpa sebarang bayaran.\nMelalui eCCRIS, identiti pengguna baharu akan disahkan secara digital. Langkah ini melibatkan pindahan RM1.00 ke akaun BNM yang ditetapkan melalui perbankan Internet. RM1.00 akan dipulangkan secara automatik dalam tempoh dua hari bekerja selepas pendaftaran.\nPendaftaran secara dalam talian ini adalah lebih mudah dan selamat kepada para pengguna. Kini, pengguna individu baharu warganegara Malaysia yang mempunyai talian Internet boleh mendaftar dan mendapatkan laporan CCRIS pada bila-bila masa.\n(Sumber: Facebook BNM)" "Bintang Kesihatan Pek Makanan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTidak lama lagi, masyarakat pengguna di India akan memperoleh maklumat pantas berkaitan dengan kandungan bahan makanan yang ingin dibeli hanya dengan melihat pada muka depan pek bungkusan makanan.\nFood Safety and Standards Authority of India (FSSAI) sedang memulakan sistem penarafan bintang untuk makanan berbungkus seperti yang dilakukan oleh Bureau of Energy Efficiency di negara itu bagi peralatan elektronik.\nBerdasarkan sistem penarafan Bintang Kesihatan atau Health Star ini, muka depan pek bungkusan makanan akan memaparkan bilangan bintang depan bungkusan, menunjukkan tahap sihat atau tidak sihatnya makanan tersebut bergantung pada jumlah garam, gula dan lemak yang ada padanya.\nPenarafan Bintang Kesihatan ialah satu daripada lima jenis pelabelan yang diperkenalkan, antaranya termasuklah tanda lampu isyarat, skor pemakanan dan simbol amaran. Penarafan Bintang kesihatan akan dilancarkan dalam\u00a0 tempoh beberapa bulan lagi.\nFSSAI memperkenalkan peraturan itu berdasarkan laporan daripada Indian Institute of Management Ahmedabad. FSSAI mengupah institut tersebut pada tahun 2021 untuk menjalankan kajian tentang kesan pelabelan muka depan pek\u00a0 makanan yang dibungkus dan diproses di India." "KDNK Meningkat 3.6% Dorong Pemulihan Ekonomi 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerbitkan Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 2/2022. Penerbitan ini bermatlamat untuk menghebahkan kepada orang awam mengenai senario ekonomi terkini berdasarkan statistik makroekonomi rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Laporan ini memfokuskan kepada statistik terkini bagi Disember 2021 dan beberapa statistik akan datang bulan Januari 2022 serta sorotan mengenai senario ekonomi Malaysia pada suku keempat 2021 dan prestasi tahunan bagi 2021. Selain itu, edisi ini juga dimuatkan dengan artikel khas bertajuk \u201cPenggunaan Elektrik di Era COVID-19\u201d yang membincangkan trend dan perubahan dalam penggunaan elektrik sebelum dan semasa pandemik COVID-19.\nMengulas mengenai situasi sosioekonomi pada tahun 2021 di sebalik usaha menangani penularan COVID-19, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato\u2019 Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, \u201cSetelah pelbagai langkah kawalan penularan sepanjang tempoh separuh tahun pertama 2021, Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilaksanakan sejak Julai dijadikan sebagai strategi bagi Malaysia dalam membuka semula aktiviti ekonomi dan sosial secara sistematik dan progresif. Oleh itu, pemulihan berterusan dilihat selaras dengan peralihan lebih banyak negeri kepada fasa PPN yang berikutnya dengan pelonggaran prosedur operasi standard serta kebenaran pengoperasian semula lebih banyak perniagaan. Hingga bulan Disember 2021, hanya dua buah negeri kekal berada dalam fasa ketiga PPN manakala negeri-negeri lain telah beralih ke fasa keempat.\nSelari dengan perkembangan positif ini, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) telah kembali meningkat kepada 3.6 peratus pada suku keempat tahun 2021 selepas menyusut 4.5% pada suku sebelumnya, memberi isyarat momentum yang lebih baik dalam pemulihan ekonomi negara. Hampir kesemua sektor penawaran menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dan semua komponen permintaan akhir kecuali bagi dua Embargo: Hanya akan diterbitkan atau disebarkan pada jam 1200, Jumaat, 25 Februari 2022 Pembentukan modal tetap kasar telah melepasi paras pra-pandemik tahun 2019. Lanjutan itu, ekonomi Malaysia berkembang 3.1% pada tahun 2021 selepas merosot 5.6% pada tahun 2020.\nPrestasi tahunan itu disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam sektor Pembuatan yang mana telah melepasi paras pra-pandemik.\u201d Dari sudut sektor luaran, beliau berkata, \u201cImbangan Akaun Semasa (CAB) Malaysia terus mencatatkan lebihan RM15.2 bilion berbanding RM11.6 bilion pada suku tahun sebelumnya didorong oleh eksport bersih barangan yang tinggi dan defisit yang lebih rendah dalam pendapatan sekunder. Akaun barangan mencatatkan peningkatan paling tinggi sehingga kini dalam eksport bersih pada RM51.8 bilion, melepasi paras tertinggi sebanyak RM50.9 bilion pada suku tahun ketiga tahun 2008.\nPelaburan bertambah baik dengan Pelaburan Langsung Asing (FDI) di Malaysia mengekalkan aliran masuk bersih yang lebih tinggi sebanyak RM24.7 bilion manakala Pelaburan Langsung Asing di Luar Negeri (DIA) oleh pelabur Malaysia berubah arah aliran untuk mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM15.0 bilion berbanding dengan aliran masuk bersih RM4.7 bilion pada suku ketiga tahun 2021.\nPrestasi tersebut menunjukkan momentum positif dalam pemulihan ekonomi negara disokong oleh pembukaan semula lebih banyak aktiviti sosial dan ekonomi serta pemberian dos penggalak di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan selaras dengan pelaksanaan PPN. Perdagangan barangan juga mengekalkan trajektori positif pada suku keempat tahun 2021 dengan jumlah perdagangan meningkat 29.2% kepada RM624.7 bilion berbanding dengan RM483.4 bilion pada suku yang sama tahun 2020. Pada masa yang sama, kedua-dua eksport dan import melonjak pada suku ini, dengan eksport meningkat sebanyak 29.0% kepada RM350.5 bilion manakala import berkembang 29.6% kepada RM274.3 bilion.\nImbangan dagangan mencatatkan lebihan RM76.2 bilion, meningkat 26.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.\u201d Melihat kepada prestasi sektoral, Indeks Pengeluaran Perindustrian memulih kepada 6.9% tahun ke tahun pada suku keempat 2021 berbanding dengan negatif 1.1% yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya. Pertumbuhan tersebut disumbangkan oleh peningkatan dalam indeks Pembuatan (9.2%) dan Elektrik (4.3%).\nSelari dengan hal itu, nilai jualan pembuatan juga meningkat 16.5% dalam tempoh yang sama kepada RM427.0 bilion. Sektor perkhidmatan menunjukkan prestasi yang lebih baik pada suku keempat tahun 2021 dengan hasil meningkat sebanyak 5.3% kepada RM460.0 bilion didorong oleh segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan yang meningkat sebanyak 5.1%. Tambahan pula, Indeks Volum Perkhidmatan juga mencatatkan peningkatan sebanyak 3.0% selepas kejatuhan ketara 7.5% pada suku tahun sebelumnya. Dari segi harga, Indeks Harga Pengguna merekodkan kenaikan sebanyak 3.2% pada suku keempat tahun 2021, manakala Indeks Harga Pengeluar pengeluaran tempatan kekal dalam aliran menaik dengan mencatatkan peningkatan dua angka sebanyak 11.9%.\nMengulas mengenai senario buruh, Ketua Perangkawan berkata, \u201cPasaran buruh kembali dengan momentum ke arah pemulihan pada suku keempat tahun 2021 dengan tiga Embargo: Hanya akan diterbitkan atau disebarkan pada jam 1200, Jumaat, 25 Februari 2022 bilangan penduduk bekerja meningkat \u00a0sebanyak 1.8% tahun ke tahun kepada 15.44 juta orang, manakala kadar pengangguran menurun 0.5% mata untuk merekodkan kadar suku tahunan terendah pada 4.3% sejak bermulanya pandemik. Dari perspektif permintaan buruh, jumlah jawatan dalam sektor ekonomi mencatatkan peningkatan buat kali pertama selepas merosot selama enam suku tahun berturut-turut, dengan merekodkan sebanyak 8.531 juta jawatan pada suku keempat tahun 2021.\u201d\nMengakhiri kenyataan beliau, Dato\u2019 Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, \u201cPemulihan ekonomi negara didorong oleh pengembangan permintaan global, pemulihan dalam pasaran buruh, perkembangan program vaksinasi COVID-19 dan disokong oleh dasar yang berterusan. Seiring dengan itu, Malaysia kini sedang bersiap sedia bagi pembukaan semula sempadan antarabangsa sepenuhnya pada bulan Mac 2022 yang akan memulihkan kembali aktiviti berkaitan dengan pelancongan. Selain itu, Indeks Pelopor (IP) meningkat kepada 2.1% pada bulan Disember 2021 daripada 1.6% pada November 2021, manakala paras indeks terus melepasi 100.0 mata dengan merekodkan 111.5 mata. Hal ini, secara keseluruhannya memberikan isyarat bahawa prospek ekonomi yang lebih baik pada bulan-bulan akan datang. Oleh itu, tumpuan kerajaan akan terarah kepada dua teras utama dalam menyokong momentum pertumbuhan ekonomi, iaitu mewujudkan peluang pekerjaan dan membantu usahawan untuk terus berkembang. Mengambil kira semua faktor ini, Malaysia optimis bahawa ekonomi akan kekal dalam landasan pemulihan pada tahun 2022.\u201d\nJabatan Perangkaan Malaysia sedang menjalankan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 dari 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2022." "Asnaf Terima RM21 000 daripada MAIPs\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21 000 kepada seramai 30 orang asnaf. Para penerima terpilih pada kali ini terdiri dalam kalangan anak kariah Masjid As Sakinah, Padang Melangit.\nHadir sama dalam program tersebut ialah kepimpinan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diketuai oleh Ketua Pengarahnya, YBhg. Datuk Abang Salehuddin Abg Shokeran. Turut serta ialah Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi; dan Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Haji Mohd Salahuddin Mohamed.\nDalam meningkatkan ekonomi Perlis, baginda bertitah bahawa lebih banyak pemain utama industri di negara ini diundang untuk terlibat sama dalam pelbagai sektor perindustrian di negeri tersebut seperti merancakkan lagi pembangunan di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) di Padang Besar. Hal ini demikian kerana kemajuan sektor perindustrian akan dapat membuka lebih banyak lagi peluang pekerjaan baharu kepada rakyat bagi menjana sumber pendapatan dan sekali gus meningkatkan taraf ekonomi.\nPada kesempatan yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail juga mengajak semua pihak agar dapat terus bersama-sama menyumbangkan idea dan membina kepakaran tenaga melalui pelbagai platform rasmi sedia ada demi pembangunan negeri yang dicintai itu." "Taobao dan Kerajaan Negeri Selangor Menyokong Wanita Melalui Industri Kotej\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bersempena dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2022, Taobao mengumumkan Jualan Taobao 3.8 yang menampilkan perisa tradisional Malaysia daripada perniagaan mikro Kampung Baharu yang memfokuskan wanita, di samping pelbagai tawaran istimewa yang tersedia dari 4 Mac hingga 8 Mac 2022. \n Lanjutan kerjasama Taobao dengan Kerajaan Negeri Selangor sejak Tahun Baharu Cina, inisiatif bersama ini bertujuan\u00a0 membawa lebih banyak jenama Kampung Baharu ke platform Taobao untuk mempromosikan aset budaya Malaysia, terutamanya dalam kalangan generasi muda.\u00a0\nKerjasama ini juga bertujuan meningkatkan keupayaan komuniti Kampung Baharu yang kurang mendapat perkhidmatan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dengan memanfaatkan saluran digital, bersama-sama pemasaran produk dan pengurusan jenama yang berkesan dan mampan. \n Untuk Jualan Taobao 3.8, sejajar dengan peningkatan penekanannya pada keterangkuman, Taobao akan menampilkan empat jenama Kampung Baharu yang sama ada memenuhi keperluan pengguna wanita atau diterajui oleh usahawan wanita daripada BAIKSelangor 2021-2022. Empat produk Kampung Baharu yang diketengahkan ialah Wei Tian Fang Moisturizing Snow Swallow Peach Paste (pingat Perak), Jin La Xiang Garlic Cili Sos (pingat Gangsa), Grusonn Essence of Mushroom, dan Lee\u2019s Cocoa 80 Percent Single Origin Dark Chocolate.\n\u201cTaobao komited untuk memupuk persekitaran yang pelbagai dan inklusif, di mana teknologi digunakan bagi kebaikan perniagaan dan komuniti yang masih belum mendapat manfaat daripadanya, akses kepada ekonomi digital. Dengan menonjolkan peniaga Kampung Baharu ini, kami berharap dapat menggalakkan lebih banyak perniagaan mikro berkembang ke dalam bidang digital sambil turut membantu generasi muda membina penghargaan terhadap akar nenek moyang kita,\u201c ujar Jess Lew, Pengurus Negeri,\u00a0 Alibaba Tmall Taobao World, Malaysia.\u00a0 \u00a0\n\u201cKami gembira dapat bekerjasama dengan Taobao sekali lagi, kali ini untuk meraikan Hari Wanita Antarabangsa. Usaha bersama kami semasa Jualan Tahun Baharu Cina Taobao bukan sahaja meningkatkan pendedahan untuk barangan berkualiti tinggi yang dihasilkan di Kampung Baharu di Selangor, tetapi kerjasama ini juga membantu\u00a0 jualan industri kotej berkembang dan mencapai matlamat kami untuk merangsangkan ekonomi untuk penduduk kampung. Inisiatif ini akan membolehkan penduduk kampung bergema dengan produk hebat daripada komuniti mereka. Kerajaan negeri Selangor mengharapkan lebih banyak peluang untuk bekerjasama dengan Taobao dalam menyokong lebih banyak jenama Kampung Baharu,\u201d kata YB Ng Sze Han, Exco Kerajaan Negeri Selangor." "UIAM Juara Debat Diraja antara IPT 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPUTRAJAYA \u2013 Penganjuran Debat Diraja antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2021 meneruskan acara tradisinya pada setiap tahun bagi melahirkan mahasiswa yang memahami naratif pelbagai isu rakyat. Acara yang berprestij ini terbukti sebagai gelanggang dan kaedah terbaik bagi memperkasakan kemahiran berucap dan memperkukuh kualiti dalam kalangan mahasiswa.\nMenteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, \u201cArena debat merupakan platform dan wadah yaang bermanfaat untuk melahirkan mahasiswa yang matang fikrah pemikiran dan murni siasah. Bahkan merekalah pewaris yang menjadi harapan negara dan berperanan sebagai penimbal suara bagi menepis ideologi luar yang tidak selari dengan kebiasaan masyarakat kita\u201d. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Kemuncak Debat Diraja Antara IPT 2021.\nPada majlis kemuncak tersebut, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) muncul sebagai juara Kategori Bahasa Melayu bagi pertandingan perbahasan elit ala Parlimen Asia edisi ke-22 dengan membawa pulang hadiah wang tunai yang berjumlah RM5000, trofi, sijil penghargaan serta hadiah buku sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nUniversiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) pula muncul sebagai naib juara dengan membawa pulang wang tunai yang berjumlah RM3000, trofi, sijil penghargaan serta hadiah buku sumbangan DBP. Majlis debat ini dihoskan oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan dianjurkan secara bersama oleh Majlis Universiti Debat Malaysia (MADUM) dengan kerjasama DBP.\nNadratul Huda Ahmad dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula muncul sebagai pendebat terbaik keseluruhan, manakala Muhammad Ilham Hafiz Azmi dari UIAM menjuarai kategori pendebat terbaik pada peringkat akhir. Mereka membawa pulang hadiah berupa trofi, wang tunai sebanyak RM1000, sijil penghargaan dan hadiah buku sumbangan DBP.\nPertandingan pada kali ini disertai oleh 23 buah IPT serta dibahagikan kepada Kategori Bahasa Melayu dan Kategori Bahasa Inggeris dengan peringkat saringan telah diadakan secara dalam talian pada minggu lepas.\nYang turut hadir ialah YB Senator Dato\u2019 Ahmad Masrizal Muhammad, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato\u2019 Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi dan Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah, Naib Canselor, UPNM, yang merangkap Pengerusi Debat Diraja Antara IPT 2021." "Bantuan Kewangan Tahun 2022 kepada Syarikat Pengendalian Pelancongan dan Syarikat Malaysia Mysecond Home Berlesen di bawah MOTAC\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) sentiasa berusaha untuk meringankan beban yang dihadapi oleh penggiat industri pelancongan negara susulan impak pandemik COVID-19.\nMOTAC menyasarkan tahun 2022 merupakan masa untuk industri bangkit semula daripada kegawatan perniagaan yang dialami sejak dua tahun lepas. Berikutan hal tersebut, menerusi Ucapan Belanjawan 2022, kerajaan\u00a0 mengumumkan\u00a0 pemberian Bantuan Khas kepada lebih 20 ribu pengusaha pelancongan yang berdaftar di bawah MOTAC dengan peruntukan sebanyak RM85 juta ringgit.\nPada tahun 2021, kerajaan melalui MOTAC telah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM61 juta yang dapat memanfaatkan sebanyak 29 286 orang penggiat industri pelancongan. Bantuan Kewangan Tahun 2022 ini adalah usaha berterusan kerajaan bagi membantu sektor pelancongan yang merupakan antara segmen yang sangat terjejas dalam tempoh pandemik COVID-19 ini.\nInisiatif ini diharap dapat membantu industri pelancongan negara untuk terus berdaya saing seterusnya dapat membantu memulihkan semula sektor pelancongan negara. MOTAC juga telah menambah baik kriteria pemohon agar lebih banyak pengusaha pelancongan dapat mendapat manfaat daripada bantuan ini.\nBayaran sebanyak RM9000.00 akan diberi kepada Syarikat Pengendalian Pelancongan (TOBTAB) dan Syarikat Malaysia Mysecond Home (MM2H). Manakala, Spa dan Pusat Urutan Kaki (PUK) akan menerima sebanyak RM3000.00. Bagi Pemandu Pelancong, mereka akan menerima sebanyak RM1500.00 dan pengusaha inap desa (homestay) sebanyak RM1800.00. Bayaran ini akan dibuat sebanyak dua kali mulai bulan Mac dan Mei, 2022.\nSehubungan dengan itu, MOTAC menyeru semua pemandu pelancong, Syarikat TOBTAB, MM2H, pengusaha spa,\u00a0 PUK serta pengusaha inap desa yang layak mengambil peluang ini untuk mengemukakan permohonan kepada pihak MOTAC melalui permohonan atas talian. Maklumat lanjut mengenai Bantuan Kewangan Tahun 2022 ini termasuklah pautan permohonan, boleh dilayari di laman sesawang rasmi MOTAC (www.motac.gov.my).\nTarikh permohonan Syarikat TOBTAB, MM2H dan Pengusaha Spa dan PUK ditetapkan dari 1 Mac hingga 15 Mac 2022. Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada Pejabat MOTAC Negeri yang berdekatan." "Lembaga Hasil Dalam Negeri Sambut Hari HASiL ke-26\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nYB Menteri Kewangan Malaysia turut menyampaikan Anugerah Pembayar Cukai Terbaik 2021 kepada 10 orang pembayar cukai yang mencapai tahap pematuhan yang tinggi terhadap polisi percukaian negara. Mereka sewajarnya menjadi contoh kepada pembayar cukai lain\u00a0 untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara.\nDalam majlis yang sama, lima orang warga HASiL menerima anugerah \u201cMost Outstanding Hasilian 2021\u201c sebagai penghargaan atas kecemerlangan mereka menjalankan tugas yang diamanahkan yang boleh menjadi inspirasi kepada warga HASiL yang lain.\nDalam ucapan alu-aluan bersempena dengan sambutan Hari HASiL 2022, Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, YBhg. Datuk Mohd Nizom Sairi mengharapkan sambutan Hari Hasil pada kali ini terus menyuntik semangat kepada warga HASiL agar terus memberikan yang terbaik kepada pelanggan. \u201cTeruskan membina imej HASiL yang profesional dalam kita memenangi kembali keyakinan rakyat,\u201c ujar beliau." "LHDN Yakin Dapat Mencapai Sasaran Kutipan Cukai Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sasaran kutipan hasil cukai berjumlah RM139 bilion tahun ini mampu dicapai dengan memastikan segala perkhidmatan yang disediakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dapat dilaksanakan sebaik-baiknya.\nKetua Pegawai Eksekutif LHDN, YBhg. Datuk Mohd Nizom Sairi menyatakan bahawa LHDN tidak akan mengambil pendekatan yang agresif untuk mencapai sasaran itu, sebaliknya menyediakan perkhidmatan khusus yang diperlukan oleh pihak pembayar cukai.\nPerdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob\u00a0 menjangkakan kutipan hasil cukai akan kembali kepada paras sebelum pandemik COVID-19, sama ada memenuhi atau melebihi sasaran kutipan cukai berjumlah RM139 bilion pada tahun ini.\nLHDN\u00a0 perlu merangka strategi jangka pendek dan sederhana untuk mencapai sasaran kutipan yang ditetapkan dan\u00a0 mengekalkan prestasi yang baik pada masa hadapan.\nHasil cukai\u00a0 pada tahun 2021 menunjukkan peningkatan sebanyak 17 peratus berbanding dengan tahun 2020 kepada lebih RM140 bilion.\nMenurut Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, YBhg. Datuk Mohd Nizom Sairi, LHDN perlu merangka strategi bagi memastikan sistem pencukaian yang sedia ada bersifat lestari dan berpanjangan.\nSelain itu, LHDN juga akan mengambil pendekatan bagi memastikan peningkatan kadar pematuhan pembayaran cukai." "Mac Bulan Pengguna Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya\u00a0 \u2013 Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 11 Disember 2020 bersetuju menetapkan (mengisytiharkan) bahawa bulan Mac setiap tahun sebagai Bulan Pengguna Kebangsaan (BPK). Oleh sebab pandemik COVID-19 yang sedang memuncak, sambutan pada tahun 2021 ditangguhkan.\nKerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan sambutan BPK buat julung-julung kalinya pada peringkat nasional di seluruh negara pada bulan Mac 2022.\nObjektif BPK antara lain adalah untuk memperkasakan pengguna agar menjadi lebih cakna dan berdaya upaya dalam pelbagai aspek terutamanya aspek perlindungan pengguna.\nSambutan BPK ini bersesuaian dengan sambutan Hari Hak Pengguna Sedunia (HHPS) yang disambut pada 15 Mac setiap tahun. Tema pada tahun ini ialah Fair Digital Finance yang bermaksud kesaksamaan dalam kewangan digital.\u00a0 Tema ini menumpukan kesaksamaan dan perlindungan dalam aktiviti kewangan secara atas talian.\nKPDNHEP mengadaptasikan tema berkenaan selaras dengan keadaan dan kesesuaian masyarakat pengguna di negara ini, iaitu Digitalisasi Pengguna yang memfokuskan penggunaan transaksi secara dalam talian yang lebih mudah, cepat dan selamat bagi urusan harian.\nPemilihan tema ini bertepatan dengan senario pandemik COVID-19 yang memerlukan sebahagian besar transaksi bayaran, jual beli dan sebagainya dilakukan tanpa sentuhan dan transaksi secara dalam talian yang merupakan platform yang\u00a0 selamat dan efisien.\nKPDNHEP berharap pengguna mengikut arus teknologi digital dan seterusnya melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kepenggunaan digital lebih-lebih lagi dari sudut keselamatan dan perlindungan daripada ancaman scam, penipuan, penggodam, dan sebagainya.\nBagi merancakkan pengisian Bulan Pengguna Kebangsaan 2022, pelbagai aktiviti dan program dirancang selaras dengan perkembangan hal ehwal kepenggunaan semasa dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang masih berkuatkuasa. Antara aktiviti dan program yang akan dilaksanakan pada peringkat negeri dan daerah, termasuklah aktiviti komuniti, wacana ilmiah, kembara rakan KPDNHEP, jualan, karnival kepenggunaan, promosi dan pertandingan kepenggunaan.\nBPK akan disambut selama sebulan bermula 1 Mac dan berakhir pada 31 Mac 2022. Kemuncak sambutan akan diadakan pada 26 Mac 2022.\nSekiranya pengguna menghadapi sebarang masalah atau menjadi mangsa penipuan, segeralah bertindak dengan melaporkan perkara berkenaan kepada KPDNHEP atau agensi-agensi berkenaan dan pastikan hak anda sebagai pengguna sentiasa dilindungi.\nPengguna bijak, perkasa hak, berani bertindak!" "MARC Jangka OPR Kekal Tidak Berubah Pada 1.75%\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 MARC Ratings Bhd menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak berubah pada paras terendah dalam sejarah iaitu 1.75% dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 4 Mac.\nAgensi penafaran itu menjangkakan BNM akan menyatakan pendirian berhati-hati di samping mengekalkan penilaiannya ke atas prospek ekonomi dan inflasi.\n\u201cBNM telah berada dalam status quo ini sejak Julai 2020 bagi menyokong pemulihan ekonomi yang tidak kukuh,\u201c menurut MARC dalam kenyataan pada Selasa.\nEkonomi Malaysia dilihat tidak bersedia kepada normalisasi monetari di tengah-tengah ketiadaan sebarang isyarat terhadap pemulihan yang kukuh dari segi permintaan.\nPertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar pada suku keempat 2021 mencatatkan 3.6% tahun ke tahun (suku keempat 2021: -4.5 %), dipacu terutamanya berikutan pengurangan dari segi penawaran.\n\u201cPeningkatan semula berkemungkinan lebih tinggi, namun dijejaskan oleh permintaan yang lembap selain pelaburan sektor awam dan swasta yang rendah. \u201cSelain itu, risiko penurunan terhadap pertumbuhan masih ketara dalam keadaan ketidaktentuan yang meningkat membabitkan tindak balas pandemik dan ketegangan geopolitik yang bertambah,\u201c katanya.\nMARC berkata inflasi itu dijangka kekal sederhana. Pada Januari 2022, inflasi keseluruhan merosot kepada 2.3% berbanding 3.2% pada bulan terdahulu, manakala inflasi teras mencatatkan peningkatan, namun masih di bawah sasaran 2% iaitu 1.6%.\nTekanan inflasi dijangka kekal dengan tolakan kos buat masa ini kerana kebanyakannya daripada makanan dan minuman bukan alkohol yang\u00c2\u00a0 menyumbang lebih satu perempat daripada kumpulan inflasi teras.\n\u201cKami melihat peningkatan risiko inflasi yang selanjutnya daripada harga komoditi yang lebih tinggi dan kelemahan ringgit akibat perang Rusia-Ukraine untuk hanya berterusan dalam masa terdekat dan akan dikekang oleh permintaan yang kekal lembap. \u201cOleh itu, kami menjangkakan kerajaan akan menjalankan langkah dasar jangka pendek dengan menghalang kenaikan harga melalui subsidi dan mekanisme kawalan harga yang lain\u201c.\nAgensi penarafan itu menyifatkan cadangan Majlis Pemulihan Negara untuk membuka semula sempadan Malaysia sebagai perkembangan yang positif. Bagi mencapai hasrat ini, kajian semula terhadap prosedur operasi standard (SOP) secara meluas perlu dilaksanakan untuk meningkatkan keyakinan pengguna.\n\u201cKami berpendapat bahawa kadar faedah lebih tinggi hanya boleh dilaksanakan melalui perubahan yang mendadak dalam persekitaran luaran atau tahap pelepasan yang lebih pantas di tengah-tengah kenaikan kos input. \u201cPerubahan mendadak ke atas dasar monetari dijangka tidak berlaku dan penetapan monetari akan kekal cukup akomodatif pada masa akan datang\u201c." "Top Glove Rugi RM3.6 bilion Sepanjang Tempoh Perintah Pelepasan Penahanan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Top Glove Corporation Bhd mengalami kerugian yang dianggarkan bernilai RM3.6 bilion sepanjang tempoh Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS).\nPada 15 Julai 2020, CBP AS telah mengeluarkan Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) ke atas Top Glove atas dakwaan amalan buruh paksa dalam proses pengeluaran, termasuk ikatan hutang pekerja, kerja lebih masa yang melampau, melanggar syarat persekitaran,\u00a0 kemudahan tempat kerja dan penginapan serta penahanan dokumen pengenalan diri.\nKementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyatakan bahawa sekatan WRO tersebut telah dibatalkan pada 10 September 2021 setelah CBP berpuas hati dengan bukti dan tindakan yang diambil oleh syarikat Top Glove termasuk pembayaran pampasan kepada pekerja dan memperbaiki kemudahan tempat kerja serta penginapan pekerja.\nMITI menyatakan bahawa sesi libat urus telah diadakan pada 18 Februari 2022 bersama-sama Kedutaan Amerika Syarikat dan ahli MARGMA untuk meneliti dan membincangkan tindakan yang perlu diambil oleh pemain industri bagi memastikan sekatan WRO terhadap syarikat sarung tangan getah Malaysia dapat dibatalkan dan dielakkan pada masa hadapan.\nMITI sentiasa komited dalam usaha meningkatkan kesedaran dan pematuhan dasar semasa termasuk berkaitan hak asasi manusia dalam kalangan pemain industri negara dan pelabur asing.\nMITI akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan khususnya pihak industri dalam menerapkan nilai etika dan pematuhan peraturan bagi mengelakkan amalan buruh\u00a0 paksa dan meningkatkan kesedaran mengenai amalan pekerja yang baik." "Dividen KWSP 6.10 Peratus Bagi Tahun 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen Simpanan Konvensional sebanyak 6.10% selepas mencatatkan prestasi kukuh dalam operasi dan kewangan bagi tahun 2021.\nKadar dividen bagi Simpanan Shariah pula ialah\u00a0 5.65%. Agihan dividen ialah sebanyak RM56.92 bilion, iaitu RM50.45 bilion bagi Simpanan Konvensional dan RM6.47 bilion bagi Simpanan Shariah.\nKadar dividen KWSP 2021 bukan sahaja jauh lebih tinggi daripada kadar 2020 iaitu 5.2% dan 4.9%, malah mengatasi agihan pendapatan lima sen seunit oleh Amanah Saham Bumiputera (ASB) perdana Permodalan Nasional Bhd untuk tahun 2021.\nKetua Pegawai Eksekutif KWPS, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyatakan bahawa keseluruhan aset pelaburannya meningkat kepada RM1008 trilion pada 2021, meningkat 0.8% tahun ke tahun daripada RM1 trilion pada 2020.\nPada Februari 2021, KWSP berkata keseluruhan aset pelaburannya meningkat 7.9% kepada RM998 bilion daripada RM924 75 bilion pada tahun 2019.\u00a0 Data KWSP menunjukkan kira-kira 7.3 juta ahli KWSP telah memohon sekurang-kurangnya satu atau ketiga-tiga pengeluaran khas berkaitan COVID-19, iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, yang secara kolektif menyaksikan RM1009 bilion dikeluarkan daripada KWSP antara April 2020 dan Februari 2022.\nJumlah yang tidak disimpan dengan KWSP meningkat kepada RM110 bilion apabila termasuk RM9 bilion yang dikeluarkan kepada ahli kerana pengurangan kadar caruman berkanun pekerja (daripada 11% kepada 7% dari April hingga Disember 2020, dan daripada 11% kepada 9% dari Januari 2021 hingga Jun 2022).\nPengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir menyatakan bahawa KWSP telah berjaya kekal stabil dan berdaya tahan bagi tahun 2021 disebabkan kedudukan portfolio yang kukuh dan pelaburan di pelbagai peringkat global.\n\u201cPengeluaran sebanyak RM101 bilion akibat pandemik telah menyebabkan 48% ahli KWSP mempunyai kurang daripada RM10 000 dalam akaun mereka. KWSP berharap dividen ini dan prestasi berterusan KWSP akan membantu\u00a0 dalam memulakan proses membina semula simpanan persaraan ahlinya ketika pemulihan ekonomi berlaku tahun ini,\u201c jelasnya dalam satu kenyataan media.\nKWSP telah mengimbangi semula dan mengurus portfolio pelaburannya dengan membeli saham yang kukuh pada harga yang menarik selain memanfaatkan pelaburan luar negara yang menyumbang 56% kepada pulangan keseluruhan bagi tahun 2021.\nSetakat 31 Disember 2021, KWSP telah mencatat peningkatan 6% dalam jumlah pendapatan pelaburan kasar kepada RM67.06 bilion daripada RM63.45 bilion pada tahun 2020." "Starbucks Buka Cawangan Kedai Kopi Pertamanya di Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan perasmian pembukaan kedai kopi Starbucks di Kangar Jaya, Perlis.\nStarbucks Malaysia membuka kedai kopi pertamanya di Perlis yang menyaksikan syarikat itu melengkapkan operasi syarikat di semua negeri dan wilayah persekutuan di Malaysia. Turut hadir pada majlis itu ialah kedua-dua puteri baginda Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra dan YAM Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra.\nPengarah Urusan Starbucks Malaysia dan Brunei, Sydney Quays berkata bahawa kedai kopi baharu itu merupakan kedai pandu lalu ke-62 syarikat tersebut daripada 345 cawangannya di negara ini.\nBeliau menyatakan bahawa mereka terpaksa menangguhkan jadual pembukaan cawangan itu disebabkan oleh pandemik COVID-19. Beliau turut menyatakan bahawa Perlis merupakan negeri terakhir Starbucks membuka cawangannya disebabkan oleh pihaknya mahu mencari lokasi yang sesuai.\nMenurut Sydney Quays lagi, pembukaan cawangannya di negeri ini merupakan satu daripada pencapaian utama bagi syarikat tersebut yang menyediakan peluang kepada penduduk untuk merasai pengalaman minum kopi luar biasa yang digemari oleh kebanyakan rakyat Malaysia.\nTambahnya lagi, cawangan Starbucks di Perlis telah direka bentuk bagi mencerminkan warisan lebih 50 tahun jenama kopi tersebut dan menerapkan tradisi serta budaya tempatan." "Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia Perkenalkan e-TT, EFT dan IBG untuk Bayaran Cukai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan bahawa bermula 1 April 2022, Sistem e-TT (e-Pindahan Telegrafik) akan diperkenalkan bagi bayaran Cukai Pendapatan, Cukai Petroleum, Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT), Bayaran Kompaun, Cukai Penghibur Awam (Seniman Kembara), dan Cukai Pegangan melalui kaedah Pindahan Telegrafik (Telegraphic Transfer), Pindahan Dana Elektronik (EFT) dan Pindahan Giro antara Bank (IBG) dari dalam dan luar negara.\ne-TT merupakan sistem yang akan menjanakan Nombor Akaun Maya (Virtual Account Number (VA)) sebagai identiti pengenalan bayaran. Pembayar cukai yang ingin membuat bayaran cukai menerusi kaedah pindahan telegrafik (TT) dari dalam dan luar negara dikehendaki untuk mengakses Sistem e-TT\u00a0 yang boleh dicapai dengan langkah mudah seperti yang berikut:\n(i) Layari Portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my\n(ii) Klik Perkhidmatan ezHasil > submenu e-TT.\n(iii) Isi maklumat bayaran dengan lengkap untuk menjanakan Nombor VA.\n(iv) Nombor VA yang diberi perlu digunakan sebagai nombor akaun bayaran semasa melakukan bayaran menerusi kaedah pindahan telegrafik (TT) di kaunter bank atau menerusi portal perbankan elektronik.\nDengan pengenalan Sistem e-TT, empat jenis bayaran, iaitu Kompaun, Cukai Penghibur Awam (Seniman Kembara), Cukai Pegangan dan CKHT \u2013 Pegangan Cukai 3% oleh Pemeroleh Aset (Seksyen 21B, ACKHT 1976), yang pada masa ini hanya boleh dilakukan di Kaunter Bayaran HASiL dan juga boleh dibuat menerusi kaedah e-bayaran.\nBayaran cukai menggunakan VA dari Sistem e-TT boleh dilakukan melalui:\nUntuk maklumat lanjut mengenai pelaksanaan Sistem e-TT, sila layari portal rasmi HASiL (www.hasil.gov.my). Sebarang pertanyaan dan maklum balas yang berkaitan boleh diajukan kepada HASiL melalui:\n(a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000/603-8911 1100 (luar negara).\n(b) HASiL Live Chat.\n(c) Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas: https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/" "Firefly Mulakan Semula Operasi Penerbangan dari Hab Pulau Pinang April Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu \u2013 \u00a0Firefly akan memulakan semula operasi penerbangan dari hab Pulau Pinang ke Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu dengan pelancaran penjualan tiket bermula 11 April ini.\nKetua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See menyatakan bahawa pelanggan boleh mendapatkan tambang serendah RM69 sehala dengan penerbangan pesawat Malaysia Airlines Boeing 737-800.\n\u201cPenerbangan ini bakal bermula dengan dua kali penerbangan pergi balik dari Pulau Pinang ke Johor Bahru dan satu kali penerbangan pergi balik dari Pulau Pinang ke Kuching dan Kota Kinabalu. \u201cKami juga akan meningkatkan sehingga tiga kali penerbangan pergi balik dari Pulau Pinang ke Johor Bahru dan dua kali penerbangan pergi balik dari Pulau Pinang ke Kuching dan Kota Kinabalu mulai 25 April depan,\u201c katanya kepada pemberita pada majlis Firefly Media Meet.\nBeliau berkata pelanggan akan mendapat fleksibiliti dan keselesaan seperti pemilihan tempat duduk, perlindungan insurans, dan penyediaan makanan dalam penerbangan.\nTambah beliau lagi, sebagai sebahagian daripada Malaysia Aviation Group, rangkaian kukuh dan perkongsian kod bersama Malaysia Airlines dan MASwings akan menawarkan pengalaman perjalanan yang lancar kepada pelanggan, sekali gus mempelbagaikan rangkaian Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak, Thailand, Indonesia dan Singapura.\n\u201cFirefly juga bakal menjalin kerjasama dengan beberapa penyedia makanan tempatan Malaysia bagi hidangan panas dalam penerbangan.\u201c\nPada masa yang sama, Philip berkata pemilihan Sabah disebabkan negeri berkenaan selalu menjadi tumpuan para pelancong tempatan atau pelancong dari luar negara.\nTiket penerbangan kini boleh didapati menerusi aplikasi Firefly, laman web, tempahan pejabat atau menerusi ejen pelancongan. Pelanggan boleh membuat tempahan di laman web Malaysia Airlines menerusi perkongsian kod bersama Firefly bermula sejak 1 Mac lepas." "Perihal Klausa Komplemen\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKlausa komplemen merupakan klausa subordinat yang dipancangkan pada klausa utama untuk menghasilkan ayat majmuk pancangan komplemen. Penanda klausa komplemen ialah kata hubung komplemen, iaitu bahawa dan untuk.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\n1a.\u00a0 Dia mengetahui bahawa ujian akan dijalankan.\n1b.\u00a0 Bahawa ujian akan dijalankan diketahuinya.\n\u00a0\n2a.\u00a0 Untuk dia lulus adalah sukar.\n2b.\u00a0 Adalah sukar untuk dia lulus.\nDari segi kewujudannya, klausa komplemen dapat menggantikan frasa nama dalam ayat. Oleh sebab itu, klausa komplemen dapat diganti dengan frasa nama seperti hal itu tanpa menjejaskan keutuhan ayat, walaupun struktur ayatnya berubah. Sila lihat contoh yang berikut:\n3a.\u00a0 Dia mengetahui bahawa ujian akan dijalankan.\n3b.\u00a0 Dia mengetahui hal itu.\n3c.\u00a0 Bahawa ujian akan dijalankan diketahuinya.\n3d.\u00a0 Hal itu diketahuinya.\n\u00a0\n4a.\u00a0 Untuk dia lulus adalah sukar.\n4b.\u00a0 Hal itu adalah sukar.\n4c.\u00a0 Adalah sukar untuk dia lulus.\n4d.\u00a0 Adalah sukar hal itu.\nBerdasarkan kelompok ayat 3 dan 4, dapat kita lihat bahawa seluruh klausa komplemen dapat diganti dengan frasa nama seperti hal itu. Hal ini tetap benar walaupun ayat yang berkenaan dipasifkan atau disongsangkan.\nMengapakah klausa komplemen dapat diganti dengan frasa nama? Hal ini berlaku kerana sebenarnya kebanyakan frasa komplemen terdiri daripada penerang inti frasa nama. Apabila kata nama yang menjadi inti frasa nama digugurkan, yang tinggal ialah klausa komplemen. Sila lihat contoh yang berikut:\n5a. Dia mengetahui hal bahawa ujian akan dijalankan.\n5b.\u00a0 Dia mengetahui bahawa ujian akan dijalankan.\n\u00a0\n6a.\u00a0 Usaha untuk dia lulus adalah sukar.\n6b.\u00a0 Untuk dia lulus adalah sukar.\nOleh sebab klausa komplemen pada asanya merupakan penerang frasa nama yang sudah digugurkan intinya, klausa komplemen dapat mengisi pelbagai tempat frasa nama dalam ayat. Sila lihat contoh yang berikut:\n7a.\u00a0 Dia mengetahui hal itu.\n7b.\u00a0 Dia mengetahui bahawa ujian akan dijalankan.\n7c.\u00a0 Dia mengetahui ujian akan dijalankan.\n7d.\u00a0 Hal itu diketahuinya.\n7c.\u00a0 Bahawa ujian akan dijalankan diketahuinya.\nDalam kelompok ayat 7, frasa nama hal itu yang menjadi objek kepada kata kerja transitif mengetahui dapat diganti dengan klausa komplemen bahawa ujian akan dijalankan. Dalam kedudukan sedemikian, kata hubung komplemen bahawa boleh dihilangkan. Namun begitu, apabila klausa komplemen menjadi subjek terbitan dalam ayat pasif, kata hubung komplemen bahawa harus dikekalkan.\n8a.\u00a0 Hal itu adalah sukar.\n8b.\u00a0 Untuk dia lulus adalah sukar.\nDalam kelompok ayat 8, frasa nama hal itu yang menjadi subjek ayat dapat diganti dengan klausa komplemen untuk dia lulus.\nKlausa komplemen juga dapat menggantikan frasa nama yang menjadi predikat ayat.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\n9a.\u00a0 Tujuan kempen ialah niat itu.\n9b.\u00a0 Tujuan kempen itu ialah niat untuk kerajaan menolong orang miskin.\n9c.\u00a0 Tujuan kempen itu ialah untuk kerajaan menolong orang miskin.\n\u00a0\n10a.\u00a0 Yang benar ialah hakikat itu.\n10b.\u00a0 Yang benar ialah hakikat bahawa dia tidak bersalah.\n10c.\u00a0 Yang benarnya ialah bahawa dia tidak bersalah.\nDalam kelompok ayat 9, kata ganti nama tunjuk itu (subgolongan kata nama) dapat diganti dengan klausa komplemen untuk kerajaan menolong orang miskin. Dalam kelompok ayat 10, kata ganti nama tunjuk itu dapat diganti dengan klausa komplemen bahawa dia tidak bersalah. Jelaslah bahawa kelompok ayat 9 dan 10 bersifat ekuatif atau persamaan.\nBagi ayat kelompok 9, jika kata hubung komplemen bahawa dan subjek dalam klausa komplemen kerajaan dihilangkan, ayat yang terhasil ialah ayat tunggal. Sila lihat contoh yang berikut:\n11a.\u00a0 Tujuan kempen adalah untuk menolong orang miskin.\n11b.\u00a0 Tujuan kempen itu adalah niat untuk menolong orang miskin.\nDalam ayat kelompok 11, frasa kerja untuk menolong orang miskin berfungsi sebagai frasa nama yang telah dihilangkan intinya, iaitu kata nama seperti niat. Oleh itu, struktur ayat tunggal itu ialah Frasa Nama + Frasa Nama yang bersifat ekuatif.\nKlausa komplemen dapat juga menjadi pelengkap kata adjektif atau kata kerja. Sila lihat contoh yang berikut:\n12a.\u00a0 Dia yakin akan hal itu.\n12b.\u00a0 Dia yakin akan hal bahawa kawannya tidak bersalah.\n12c.\u00a0 Dia yakin bahawa kawannya tidak bersalah.\n\u00a0\n13a.\u00a0 Dia berpendapat itu/begitu.\n13b.\u00a0 Dia berpendapat bahawa kawannya tidak bersalah.\nDalam kelompok ayat 12, frasa nama hal itu dalam ayat 12a dapat diganti dengan klausa komplemen bahawa kawannya tidak bersalah dalam ayat 12b. Dalam hal ini, sendi nama akan berfungsi sebagai pengantar objek di antara kata adjektif yakin dengan frasa nama hal itu atau hal bahawa kawannya tidak bersalah. Dalam ayat 12c, inti frasa nama hal telah digugurkan. Selain itu, sendi nama akan yang menjadi pengantar objek turut digugurkan.\nDalam kelompok ayat 13, kata ganti nama tunjuk itu atau begitu dapat diganti dengan klausa komplemen bahawa kawannya tidak bersalah sebagai pelengkap. Selain itu, klausa komplemen bahawa kawannya tidak bersalah juga menjadi penerang kepada inti frasa nama pendapat yang terkandung dalam kata kerja berpendapat.\nKlausa komplemen juga dapat menjadi objek sipi kepada kata kerja tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:\n14a.\u00a0 Dia memberitahu kawannya hal itu.\n14b.\u00a0 Dia memberitahu kawannya hal bahawa ujian akan dijalankan.\n14c.\u00a0 Dia memberitahu kawannya bahawa ujian akan dijalankan.\nDalam kelompok ayat 14, objek sipi hal itu dalam ayat 14a dapat diganti dengan frasa nama hal bahawa ujian akan dijalankan dalam ayat 14b atau klausa komplemen bahawa ujian akan dijalankan dalam ayat 14c. Dalam hal ini, objek tepat ialah kata nama kawannya.\nAda kalanya sesuatu ayat mungkin mengandungi klausa komplemen atau klausa keterangan, bergantung pada perspektif analisis kita. Hal ini menjadi jelas apabila ayat yang berkenaan disongsangkan atau dipasifkan. Sila lihat contoh yang berikut:\n15a. Kerajaan akan menjalankan usaha untuk membantu orang miskin\n15b. Untuk membantu orang miskin, kerajaan akan menjalankan usaha.\n15c. Usaha dijalankan oleh kerajaan untuk menolong orang miskin.\n\u00a0\n16a. Kerajaan akan menjalankan usaha untuk membantu orang miskin.\n16b. Akan menjalankan usaha untuk menolong orang miskin kerajaan.\n16c. Usaha untuk membantu orang miskin akan dijalankan oleh kerajaan.\nDalam kelompok ayat 15, klausa untuk (kerajaan) membantu orang miskin merupakan klausa keterangan tujuan. Oleh itu, klausa itu dapat dipisahkan daripada kata nama objek usaha. Dalam kelompok ayat 16, klausa untuk (kerajaan) membantu orang miskin merupakan klausa komplemen yang menjadi penerang kepada inti frasa nama objek usaha. Oleh itu, inti frasa nama usaha dengan penerangnya untuk (kerajaan) membantu orang miskin tidak dapat dipisahkan." "Harga Minyak Mentah Cecah Paras Tertinggi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Penanda aras minyak mentah melonjak awal hari ini berikutan masalah bekalan, potensi gangguan perdagangan dan isu perkapalan akibat daripada sekatan baharu yang dikenakan ke atas Rusia selepas negara itu menyerang Ukraine lebih seminggu lalu.\nSetakat jam 2.07 petang, niaga hadapan minyak mentah Brent telah melonjak sebanyak 3.62% kepada AS$117 setong, manakala West Texas Intermediate meningkat 3.44% kepada AS$114.40 setong.\nTerdahulu, niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat setinggi AS$118.22 setong, tertinggi sejak Februari 2013. Pasaran bertindak balas terhadap pusingan terbaharu sekatan Amerika Syarikat ke atas sektor penapisan Rusia yang membawa kepada kebimbangan bahawa sekatan eksport boleh beralih kepada sektor minyak dan gas Rusia.\nSusulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, harga minyak mentah Brent telah melambung melebihi AS$100 setong berikutan kebimbangan gangguan bekalan. Rusia menyumbang kira-kira 10% daripada bekalan minyak global.\nMenurut Agensi Tenaga Antarabangsa seperti yang dilaporkan oleh CNBC, Rusia ialah pengeluar minyak ketiga dunia dan pengeksport minyak terbesar ke pasaran global.\nSemalam, Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya termasuk Rusia, mengambil keputusan mengekalkan pertambahan dalam pengeluaran sebanyak 400 000 tong sehari pada bulan Mac." "Harga Produk PPB Group Naik 10% Akibat Krisis Rusia-Ukraine\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u00a0PPB Group Berhad terpaksa menaikkan harga jualan produknya sebanyak 10% setakat ini akibat terkesan dengan kenaikan bahan mentah khususnya tepung kesan daripada krisis Rusia-Ukraine.\nPengarah Urusannya, Lim Soon Huat menyatakan bahawa krisis itu dilihat memberikan kesan kepada ekosistem bahan mentah global sekali gus menghimpit pengeluar produk makanan.\nTambah beliau, pergolakan geopolitik itu juga akan meningkatkan ketidaktentuan harga bahan mentah terkesan dengan kenaikan harga komoditi lain, logistik, pengangkutan, cuaca dan kekurangan pekerja akibat COVID-19.\nSelain gandum, Rusia dan Ukraine merupakan pembekal jagung yang merangkumi 90% bekalan dunia dan kedua-dua negara itu turut mengeksport 80% bunga matahari.\n\u201cPergolakan juga menyebabkan bahan mentah mungkin tidak boleh dibawa keluar dari Rusia dan Ukraine selepas pelabuhan mereka ditutup.\u201c\nKami melihat kenaikan kos yang memberi kesan kepada operasi syarikat dan anak syarikat lain ditambah pula dengan kos untuk menjalankan perniagaan yang turut meningkat. Pihaknya sudah cuba meminimumkan kos harga tetapi terpaksa memindahkan kenaikan itu kepada pengguna disebabkan oleh tiada pilihan lain." "Jualan Proton Melonjak 107% Pada Februari 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Jualan Proton Holdings Bhd (Proton) melonjak 107% pada bulan Februari tahun 2022 selepas mengalami tempoh mencabar pada Januari berikutan barisan pengeluarannya terjejas teruk akibat isu banjir yang belum selesai. Pihaknya menjual sebanyak 9225 unit di peringkat domestik dan eksport bulan lepas sekali gus berada semula di kedudukan kedua dari segi jualan automotif dan meletakkan kembali Proton di landasan\u00a0 pemulihan daripada kemerosotan jualan pada Januari.\nKetua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata keupayaan syarikat\u00a0 mengeluarkan lebih banyak kereta merupakan punca utama pemulihan jualan pada Februari. Beliau berkata ia hanya dapat dicapai melalui usaha bersama yang cemerlang daripada vendor dan kakitangan untuk mengembalikan Proton ke landasan yang betul.\n\u201cSyukurlah, prestasi buku tempahan kami kekal baik dan yakin boleh mencapai sasaran kami untuk tahun ini,\u201c katanya.\nMenurut Proton, susulan penyambungan penuh pengeluaran di Shah Alam, Selangor dan Tanjung Malim, Perak jumlah jualan secara keseluruhannya mencatatkan peningkatan ketara. Bagaimanapun, pengeluaran dan aktiviti jualan biasa bagi model seperti Saga hanya dapat dijalankan selama setengah bulan dan ini menjejaskan potensi penuhnya, jelas syarikat itu.\nProton menjelaskan bahawa Saga mencapai 2951 unit pada Februari, walaupun angka itu kurang daripada purata bulanan biasa, namun jualannnya dijangka kembali kepada tahap sebelumnya dalam beberapa bulan akan datang.\nModel lain mencapai jualan yang lebih baik berbanding dengan sasaran jualan dengan X50 and X70 mengakhiri Februari dengan jualan masing-masing sebanyak 3002 dan 1119 unit. Situasi ini membolehkan kedua-duanya mengekalkan kedudukan di tempat pertama dalam segmen masing-masing.\nJualan eksport semakin meningkat apabila merekodkan lonjakan 72.8% pada tahun 2022 dengan 323 unit pelbagai kereta Proton telah dijual dalam dua bulan pertama tahun ini, berbanding hanya 187 unit dijual pada tahun lepas.\nRoslan berkata Proton mengambil langkah untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan selepas jualan bagi pelanggannya.\nBeliau berkata langkah pertama ialah menangani ketersediaan alat ganti dan melaksanakan peraturan mandatori iaitu memastikan semua pengedar dikehendaki memegang stok tiga bulan bagi 22 alat ganti yang mencatatkan permintaan tinggi." "Starbucks Memberikan Sumbangan Dana kepada Yayasan Tuanku Syed Putra\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Perlis \u2013 Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn. Bhd. menyumbangkan RM5000 kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis khusus untuk menjayakan Projek Diraja Kampung Warna-warni Program Transformasi Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis. Projek itu merupakan hasil inisiatif yayasan itu bersama-sama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).\nSebanyak RM2000 lagi disumbangkan kepada pihak MAIPs sempena program \u201cKayuhan Amal Starbucks di Perlis\u201c yang diadakan bersama dengan aktiviti \u201cMAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf\u201c yang diketuai oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di sekitar Kuala Perlis, Padang Besar Selatan dan Kurong Tegar.\nPengarah Urusan Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn. Bhd., YBhg. Dato\u2019 Sydney Lawrance Quays mempersembahkan cek contoh (mock cheque) kepada DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Pengerusi YTSP Perlis dan juga Yang DiPertua MAIPs. Majlis itu diadakan bersempena dengan Majlis Perasmian Pembukaan Cawangan Starbucks Pandu Lalu, Kangar Jaya yang merupakan cawangannya yang pertama di Perlis.\nDalam ucapan beliau, Dato\u2019 Sydney Lawrance Quays berasa teruja berpeluang menyertai aktiviti kebajikan dan melihat sendiri cara DYTM Tuanku Raja Muda diiringi oleh ketua-ketua jabatan menyantuni dan berinteraksi dengan golongan yang memerlukan di negeri ini. Pihak Starbucks Malaysia komited untuk berkerjasama dengan baginda lagi dalam inisiatif amal lain pada masa hadapan.\nPada petang yang sama, DYTM Tuanku Raja Muda turut berkenan menyempurnakan perasmian projek peningkatan sosioekonomi asnaf MAIPs berupa perniagaan karipap mini yang diusahakan oleh Sabri Ibrahim dan isteri di No 29 Kg. Tok Kaya Kuala Perlis yang telah menerima sumbangan peralatan untuk bengkel makanan bernilai RM2350 daripada MAIPs menerusi Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM).\nBaginda turut singgah untuk menyampaikan agihan zakat MAIPs dan sumbangan prihatin daripada pihak Starbucks kepada tiga buah keluarga asnaf terpilih di rumah masing-masing." "Peranan Pegawai Tourism Malaysia di Luar Negara Promosikan Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), YB Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri telah mengadakan sesi pertemuan bersama lapan\u00a0 orang pegawai Tourism Malaysia (TM) yang terdiri daripada Pengarah dan Timbalan Pengarah yang bakal bertukar ke beberapa buah Pejabat TM Luar Negeri pada 3 Mac 2022.\nKesemua lapan orang pegawai itu\u00a0 akan ditempatkan di Pejabat TM di London, Jakarta, Istanbul, Sydney, New Delhi, Jeddah, Taipei, dan Auckland.\nDato\u2019 Sri Hajah Nancy dalam pertemuan tersebut menekankan agar semua pegawai TM berkenaan melaksanakan tugas sebagai wakil pemasaran yang bertanggungjawab dan peka tentang segmen pemasaran di negara-negara tersebut.\nHal ini menurut beliau penting untuk mempromosikan sektor pelancongan menggunakan strategi pemasaran yang sesuai dengan setiap norma negara tersebut.\nSeiring dgn perkembangan teknologi digital, pegawai harus berusaha mempelbagaikan strategi pemasaran agar dapat mencapai kelompok sasaran. Selain itu, mereka perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan negara penempatan (negara hos) dan bekerjasama erat dengan pemain industri tempatan. Mereka turut diseru agar mempelbagaikan promosi pakej pelancongan baharu serta memberikan tumpuan kepada pasaran baharu di negara penempatan tersebut.\nMenurut Dato\u2019 Sri Hajah Nancy lagi, Dasar Pelancongan Negara (DPN) dan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) harus dijadikan sebagai panduan dalam setiap perancangan yang boleh mengangkat nama Malaysia di mata dunia.\n\u201cKita mesti menarik minat seluruh spektrum pelancong seperti peminat budaya, pencinta alam sekitar dan pelancong perubatan. Hal ini bagi mencapai sasaran pemasaran yang unik, strategik dan seiring dengan matlamat DPN dan DAKEN,\u201d jelas Dato\u2019 Sri Hajah Nancy.\nTambah beliau, \u201cSeperti negara luar yang lain, Malaysia\u00a0 akan membuka sempadannya apabila tiba masanya nanti. Oleh\u00a0 itu, adalah penting bagi semua pegawai TM Luar Negara untuk turut menggunakan pendekatan berorientasikan digital agar sasaran Malaysia untuk meningkatkan jumlah kemasukan pelancong dari luar negara tercapai sekali gus dapat mempercepat fasa pemulihan industri pelancongan\u00a0 pada tahun ini." "Kerajaan Pantau Kenaikan Harga Minyak, Gandum dan Bijirin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Kenaikan mendadak harga minyak mentah dunia turut memberikan cabaran kepada pengurusan kewangan negara. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato\u2019 Seri Mustapa Mohamed berkata selain kenaikan harga minyak mentah, harga komoditi lain seperti gandum, bijirin dan sebagainya sentiasa dipantau kerajaan.\nTambah beliau, pihak kerajaan memberikan subsidi petrol RON95 walaupun kebanyakan negara sedang mengalami kenaikkan bahan api itu sehingga mencecah RM10 seliter.\nBeliau menyatakan bahawa kerajaan akan memanfaatkan kenaikan harga komoditi lain seperti minyak kelapa sawit dan getah untuk menampung subsidi yang diberikan kepada rakyat.\nTerdahulu dilaporkan harga minyak mentah melonjak pada paras tertinggi dalam tempoh tujuh tahun susulan krisis Rusia-Ukraine. Harga minyak mentah brent meningkat melepasi paras AS$96 setong, paras tertinggi sejak 2014." "Kos MRT3 Lebih Tinggi Berikutan Berlakunya Lonjakan Harga Bahan Binaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3)\u00a0 dijangka menelan kos yang lebih tinggi berikutan lonjakan harga bahan pembinaan yang semakin meningkat. Kos pembinaannya dianggarkan sekitar RM40 hingga RM50 bilion sebelum disemak semula antara RM27 hingga RM32 bilion ketika projek itu dibatalkan pada tahun 2018.\nMIDF Research menyatakan bahawa kos akhir bagi MRT3 mungkin lebih tinggi berbanding MRT2 kerana merangkumi bahagian bawah tanah yang lebih besar iaitu 40% berbanding 23.4% bagi MRT2. Hal ini\u00a0 disebabkan oleh kerja-kerja terowong lebih berintensifkan buruh ditambah pula dengan kos jentera berat yang tinggi seperti mesin pengorek terowong. Bahagian bawah tanah\u00a0 projek MRT2 menelan kos RM13.1 bilion manakala landasan bertingkat pula mencecah RM17.4 bilion.\nMRT2 melibatkan jajaran sepanjang 57.7 km terdiri daripada 44.2 km laluan bertingkat dan 13.5 km laluan bawah tanah dengan 36 stesen. Projek\u00a0MRT3 mungkin menelan kos sebanyak RM31.22 bilion, iaitu RM19.4 bilion bagi bahagian bawah tanah manakala RM11.82 bilion bagi landasan bertingkat. Kos ini berkemungkinan lebih tinggi bagi MRT3 berbanding kos yang dispekulasikan sebelum ini disebabkan kenaikan harga bahan pembinaan.\nMRT Corp sebelum ini telah mencadangkan model pembiayaan hibrid untuk projek itu dan\u00a0 dijangka memanfaatkan inisiatif pembiayaan swasta (PFI). Pada hari Jumaat, Perdana Menteri, Dato\u2019 Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa kabinet bersetuju untuk melaksanakan projek MRT3, menambah baik pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) dan projek tebatan banjir. Keutamaan akan diberikan kepada kontraktor tempatan terutama golongan bumiputera bagi menjana peluang perniagaan dan mewujudkan 600 000 pekerjaan pada tahun ini.\nMenurut MIDF Research, pengumuman tersebut tepat pada masanya kerana sektor pembinaan dilihat agak \u201csepi\u201c sejak kebelakangan ini. Kontrak pertama MRT3 dijangka dikeluarkan paling awal pada tahun 2023 dengan mengambil kira pertimbangan proses tender dan model usaha sama awam-swasta (PPP) 3.0 yang dijangka diumumkan pada pertengahan tahun ini. Firma itu juga berpendapat bahawa kontrak berkenaan dijangka diberikan secara berpakej seperti yang pernah dilaksanakan ketika MRT2, apabila\u00a0 dibahagikan antara segmen bawah tanah, stesen, jejambat dan lain-lain." "Graduan Diseru Menceburi Bidang Keusahawanan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail\u00a0yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkenan berangkat menyempurnakan Sidang Ke-5 Istiadat Konvokesyen 15 UniMAP di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.\nPada majlis tersebut, seramai 370 orang graduan menerima penganugerahan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu (Kepujian) dan Sarjana Muda Perniagaan (Kepujian) (Perniagaan Antarabangsa) daripada baginda termasuklah pasangan kembar Satiabama dan Satiawani a/p Nagayah. Pada majlis tersebut, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis bertitah bahawa graduan digalakkan menceburi bidang keusahawanan. Hal ini demikian kerana selain memanfaatkan diri sendiri, seseorang graduan itu juga mampu menyumbang kepada masyarakat melalui sesi perkongsian ilmu.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut meluangkan masa bertegur sapa dan berinteraksi dengan ibu bapa yang datang dari jauh hadir mengikuti sesi konvokesyen melalui maya. Baginda juga mengucapkan tahniah kepada semua para graduan dan berharap agar graduan sentiasa menjaga imej dan nama baik UniMAP walau di mana-mana sahaja mereka berada.\nDYTM Tuanku Raja Muda turut mengingatkan graduan supaya perlu sentiasa bersedia agar mampu mendepani segala cabaran hidup yang mendatang khususnya dalam era endemik COVID-19." "HSBC Malaysia Buka Ibu Pejabat di TRX\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 HSBC Malaysia secara rasminya membuka ibu pejabat baharunya di bangunan Menara IQ di pusat kewangan antarabangsa Negara di Tun Razak Exchange (TRX). Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.\nPembinaan ibu pejabat negara HSBC yang baharu di TRX dilihat bakal mengukuhkan lagi rancangan pertumbuhannya dan menunjukan bukti teguh komitmen jangka panjang bank tersebut terhadap perniagaan dan pelanggannya di Malaysia. Ibu pejabat baharu itu akan \u00a0mengantikan cawangan utama Bank HSBC di Leboh Ampang dengan menempatkan 5000 pekerja.\nKetua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia, Stuart Milne menyatakan bahawa perpindahan ke bangunan baharu setinggi 33 tingkat itu melibatkan pelaburan sebanyak AS$250 juta (RM1.04 bilion). \u201cPremis baharu ini akan membolehkan pekerjanya berada dalam model baharu pekerjaan masa depan yang menawarkan peralihan ke arah gaya kerja yang lebih hibrid dan fleksibel,\u201c katanya ketika berucap di majlis perasmian ibu pejabat baharu HSBC di Menara IQ.\nStuart Milne menambah pembukaan ibu pejabat baharu itu mengukuhkan komitmen HSBC untuk menggunakan kepakaran, keupayaan, keluasan dan perspektif unik untuk membuka peluang baharu kepada pelanggan bank tersebut di Malaysia. Beliau turut menambah pemanfaatan\u00a0 keterhubungan antarabangsa HSBC akan terus mengukuhkan rangkaian tawaran merentasi perbankan runcit dan korporat dengan tumpuan khusus pada kewangan mampan dan inovasi digital untuk terus memacu pertumbuhan perniagaan di negara ini.\nTRX dibangunkan sebagai pusat pertumbuhan untuk memudahcarakan transformasi ekonomi Malaysia. Pembangunan baharu itu bakal memanfaatkan kekuatan Malaysia yang sedia ada dan kedudukan strategiknya sebagai pelengkap kepada pusat ekonomi dan kewangan lain di rantau ini. Menara IQ direka bentuk sebagai sebuah bangunan komersial dengan bercirikan digital dan alam sekitar yang merangkumi elemen keseluruhan aspirasi TRX serta pembangunan komuniti di kawasan itu.\nHSBC memiliki bangunan ini dan merupakan penyewa utama yang menduduki 22 tingkat. Tingkat yang selebihnya akan dipajak kepada syarikat yang menyokong ekosistem TRX seperti syarikat teknologi kewangan, kewangan dan perkhidmatan profesional." "Sektor Perbankan Malaysia dalam Kedudukan Kukuh\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sektor perbankan Malaysia berada di kedudukan baik untuk merealisasi aspirasi Malaysia terutama ketika sedang melalui transformasi dan perubahan besar. Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Abdul Aziz menyatakan bahawa sektor perbankan Malaysia antara yang terkukuh di Asia.\nMenurutnya, kedudukan negara yang strategik di tengah-tengah Asia Tenggara menjadikan Malaysia mempunyai taraf hidup yang tertinggi di rantau ini.\n\u201cDengan keberkesanan kesalinghubungan dan rancangan infrastruktur pada masa-masa akan datang, Malaysia dilihat bakal menjadi pangkalan serantau dan antarabangsa yang ideal untuk perniagaan. Kita juga mahu menjadikan Malaysia sebagai hab untuk bakat global, pusat pembangunan teknologi baharu dan sebagai pusat pertukaran maklumat,\u201c katanya ketika berucap merasmikan pembukaan ibu pejabat HSBC Malaysia yang baharu di Menara IQ, Tun Razak Exchange (TRX).\nTengku Zafrul juga menambah Pelan Tindakan Sektor Kewangan yang memperincikan strategi\u00c2\u00a0 amat penting bagi sektor kewangan dalam mengharungi cabaran dan peluang masa depan dalam merealisasikan matlamat ekonomi yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12.\n\u201cPada dasarnya, pelan tindakan akan merealisasi matlamat Malaysia ke arah kemakmuran, inklusif dan mampan dengan lebih baik. Sehubungan ini, kami amat menghargai para pelabur yang telah sekian lama bertapak di Malaysia seperti HSBC yang telah memainkan peranan utama di negara ini sepanjang 130 tahun yang lalu dan kini membantu dalam memudahcarakan pemulihan ekonomi, pertumbuhan dan transformasi negara\u201c.\nBeliau menyifatkan 130 tahun merupakan suatu tempoh yang amat panjang dan selama lebih satu abad, HSBC telah berganding bahu dengan Malaysia memainkan peranan penting dalam pembangunan negara ini." "Tatkala Bahasa Mengalir di Muara Merdeka\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArtikel ini merupakan suatu upaya kecil dalam memahami kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di tanah air sendiri. Artikel ini tidak mengemukakan data, gambar rajah atau angka untuk memperkukuh hujah atau pandangan. Ini bukan perbahasan mencari pemenang dan siapa yang tewas. Siapa benar, siapa salah.\nPenulis berharap pada penghujung artikel ini nanti, setiap mata yang membacanya mampu memercikkan nyalaan api perjuangan yang malap. Malap di muara kemerdekaan. Mengapakah penulis mengatakannya sebagai \u201cpenghujung\u201d?\nMuara merdeka ialah satu perlambangan. Muara ialah satu daerah atau lembangan di peringkat akhir sesebuah sungai. Muara ialah satu pertemuan antara air laut dengan air sungai. Pertembungan antara arus ombak laut dengan aliran sungai yang mengalir. Bahkan air pasang surut laut juga akan mempengaruhi kadar kandungan air sungai.\nMuara akan membawa fikiran dan khayalan kita pada realiti tentang rupa wajah bahasa kita pada hari ini. Alirannya lesu kerana membawa bebanan yang sangat berat dan pasrah bertembung dengan ombak laut yang datang.\nKetika melihat muara, itulah keadaan merdeka kita pada hari ini. Lesu, tidak bermaya dan pasrah pada sebarang kemungkinan. Kita terus setia meraikan ulang tahun kemerdekaan yang kini lebih dikenali sebagai hari kebangsaan saban tahun. Hari kebangsaan menjadi satu ritual nasional untuk diperingati dan diraikan melalui acara yang pelbagai. Namun begitu, yang lebih penting yang perlu dihayati ialah soal pengisian merdeka yang benar-benar memberikan makna besar dalam kehidupan bermasyarakat.\nDalam artikel ini, segala fikrah yang dilontarkan adalah daripada himpunan cebisan perjuangan \u201cbahasa jiwa bangsa\u201d sepanjang perjalanan pembinaan negara bangsa \u2212 bukan semata-mata dari kotak fikiran penulis sahaja. Penulis hanya mengatur bicara yang lepas dan menyusunnya kembali sebagai sebuah karangan untuk dikongsi bersama.\nMasyarakat dan Bahasa\nMalik Benabi, seorang pemikir dari Algeria, menyebut tentang masyarakat yang bertamadun. Terdapat dua jenis masyarakat sejarah. Pertama, masyarakat sejarah yang lahir daripada tindak balas kepada cabaran yang timbul dalam suasana tabii sehingga mewujudkan sebuah masyarakat baharu. Jenis kedua ialah masyarakat yang lahir daripada kesan tuntutan sesuatu idealogi.\nMasyarakat Malaysia bolehlah dianggap sebagai masyarakat yang lahir daripada perubahan demografi dan geografi kemanusiaan. Yang paling ketara terutamanya semasa era penjajahan Inggeris pada kurun ke-19 apabila berlakunya kemasukan buruh asing bagi memenuhi keperluan ekonomi Inggeris.\nMasyarakat Malaysia tidak dibentuk oleh mana-mana idealogi seperti Amerika Syarikat atau Soviet Union. Masyarakatnya terbentuk melalui proses asimilasi dan akodomasi dalam masyarakat secara berperingkat.\nMeskipun tanah air kita sudah mempunyai pengalaman sejarah dengan masyarakat luar sejak ratusan tahun, namun dalam era penjajahan Inggeris memiliki signifikan kuat dalam proses pembentukan sebuah rupa bentuk masyarakat majmuk yang ada pada hari ini.\nPada peringkat awal Inggeris di tanah air kita, para pegawai dan kakitangan mereka belajar bahasa Melayu dan cuba menguasai budaya dan bahasa tempatan. Bahkan mereka menulis buku-buku mengenai kesusasteraan Melayu dan menyusun kamus seperti yang dilakukan oleh Wilkinson, R. O. Winsted, Frank Swettenham dan lain-lain. Bahkan sepanjang di bawah pentadbiran Inggeris, mereka berusaha menguasai dan memugarkan kedaulatan bahasa Melayu itu sendiri.\nMelalui penerokaan dan penguasaan bahasa Melayu, para pegawai Inggeris sebenarnya telah memahami psikologi dan sosiologi masyarakat tempatan yang mereka jajah. Mereka menguasai bahasa Melayu tetapi akar keinggerisannya terus kekal dalam pemikiran mereka. Inilah kualiti masyarakat yang bertamadun Barat. Mereka maju, menguasai dan membina sistem untuk bekas jajahannya menggunakannya beratus-ratus tahun selepas mereka meninggalkan tanah bekas jajahan mereka.\nSebelum Inggeris meninggalkan tanah air kita, mereka telah mempersiap satu perlembagaan yang menjadi asas kepada pembinaan negara bangsa yang baru merdeka. Lalu, dari aspek bahasa telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan melalui Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan tersebut tidak menghalang mana-mana bahasa lain digunakan atau diajar.\nKini sudah enam dekad lebih kita merdeka. Harus untuk apakah lagi kita persalahkan penjajah? Sebagai sebuah masyarakat merdeka, bahasanya juga harus merdeka. Merdeka dalam erti kata, kita menggunakan bahasa sendiri bukan setakat dalam urusan rasmi tetapi dalam berkomunikasi, bahkan dalam berdiplomasi.\nMasyarakat yang lemah, yang hilang jati diri akan menggunakan bahasa lain (bahasa asing) yang berdaya maju bagi menyandarkan harapan untuk turut maju bersama. Hujah menggunakan bahasa maju seperti bahasa Inggeris untuk maju sudah terbukti suatu dongengan. Hujah itu lebih bersandarkan kepada faktor ekonomi dan material sahaja.\nDalam hal ini, umumnya mengakui akan keperluan untuk masyarakat menguasai pelbagai bahasa dalam memperoleh sumber ilmu pengetahuan. Bahkan hal inilah kualiti yang pernah ditunjukkan oleh Laksamana Hang Tuah, yang menguasai 12 bahasa. Di Melaka pada zaman keagungannya, terdapat lebih 80 bahasa digunakan di kota tersebut. Sebagai kota metropolitan ketika itu, penguasaan bahasa asing adalah perlu. Namun di sebalik itu, bahasa Melayu tetap menjadi lingua franca ketika itu.\nDalam perbincangan ini, penulis menggunakan istilah \u201cmasyarakat\u201d dan bukannya istilah \u201crakyat\u201d. Kedua-dua istilah ini walaupun pada zahirnya sama, iaitu merujuk sekumpulan manusia tetapi dari segi politiknya, masyarakat membawa nilai tanggungjawab sosial. Atau istilah lain yang hampir persamaan penggunaannya ialah warganegara, iaitu sebagai ahli kepada sesebuah negara yang memiliki hak dan tanggungjawab dalam membina sesebuah negara.\nIstilah rakyat pula lebih kepada sebuah kelompok manusia yang pasif dalam kerangka feudal. Rakyat mempunyai kesetiaan yang bukan sekadar pada sistem politik, bahkan dalam sistem kehidupan sosial yang wujud. Rakyat tidak akan bangkit melawan sistem yang melingkari kehidupan mereka.\nSistem sosial yang ada pada hari ini ialah suatu proses neo kolonialisme yang menjadikan negara atau masyarakat sebagai pengguna sistem. Masyarakat kita tidak untuk menghasilkan atau mencipta idea yang boleh digunakan oleh masyarakat luar. Sebaliknya kita kekal menjadi masyarakat pengguna sistem yang dicipta oleh kapitalis melalui proses globalisasi." "KPDNHEP Bersedia Peralihan Endemik Demi Pemulihan Ekonomi Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013\u00a0 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob mengenai fasa \u201cPeralihan ke Endemik\u201d bermula 1 April 2022.\nMenurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Fasa Peralihan\u00a0 merupakan strategi keluar untuk membolehkan Keluarga Malaysia kembali semula kepada kehidupan dan aktiviti seperti biasa dalam kebiasaan baharu yang lebih selamat.\nKomuniti perniagaan tentunya dapat menarik nafas lega dengan pengumuman ini berikutan pemansuhan had waktu beroperasi bagi premis perniagaan. Pemilik premis dibolehkan menjalankan waktu operasi premis masing-masing mengikut syarat lesen operasi premis dan di masa yang sama memastikan pengudaraan yang baik dalam premis. Hal ini bermakna semua premis peruncitan, antaranya termasuklah pasar raya, pasar raya besar, pasar mini, kedai runcit, pasar basah, pasar tani, pasar malam, dan kedai makan boleh beroperasi sepenuhnya. Pembukaan sepenuhnya pastinya menjadi mangkin yang merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan, khususnya sektor perdagangan dan pengedaran.\nKPDNHEP menyokong penuh Prosedur Operasi Standard yang mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang wajib dipatuhi kerana langkah ini masih diperlukan untuk membendung COVID-19, terutamanya varian Omicron yang mudah merebak. KPDNHEP akan memastikan bekalan pelitup muka dan Kit Ujian Kendiri COVID-19 (RTK) sentiasa stabil dan peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan oleh Kerajaan.\nPada masa yang sama, langkah pencegahan dan pengesanan melalui pendaftaran kemasukan menggunakan MySejahtera perlu terus diwajibkan dan hanya dikecualikan untuk kawasan terbuka, tidak sesak serta tiada perhimpunan orang ramai. MYSJTrace perlu terus diwajibkan untuk tempat tertutup yang dipenuhi tetamu atau pengunjung.\nKPDNHEP akan memastikan Prosedur Operasi Standard ini terus dipatuhi oleh pengguna ketika mengunjungi premis perniagaan, terutamanya \u00a0sektor peruncitan dan pengedaran di bawah seliaan KPDNHEP. Peratus pematuhan Prosedur Operasi Standard Pelan Pemulihan Negara bagi sektor perdagangan pengedaran adalah tinggi, iaitu hingga 99.9% berdasarkan pemeriksaan di 1.088 juta buah premis dari 13 Mei 2020 hingga 8 Mac 2022. Sebanyak 1063 kes direkodkan bagi pelbagai kesalahan ketidakpatuhan SOP dan jumlah kompaun yang dikeluarkan pula adalah sebanyak RM5.267 juta sepanjang tempoh yang sama.\nKPDNHEP berharap rakyat, terutamanya komuniti perniagaan dan pengguna menyambut baik pengumuman ini dan menyokong 10 Prosedur Operasi Standard Peralihan ke Endemik agar negara segera kembali kepada kehidupan dan aktiviti seperti biasa sebelum pandemik COVID-19, tetapi dalam norma baharu yang lebih selamat dan berdaya maju." "Kenaikan Harga Minyak Sokongan kepada Kedudukan Fiskal Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pakar Ekonomi Negara Kanan Bank Dunia, Shakira Teh Sharifuddin menyatakan bahawa konflik berterusan antara Rusia dan Ukraine nampaknya menguntungkan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport minyak bersih dan kenaikan mendadak harga minyak akan memberikan sokongan sementara untuk kedudukan fiskal negara.\nBeliau berkata walaupun harga minyak akan memberikan sedikit sokongan kepada Malaysia, prospek akan kekal berhati-hati kerana kemungkinan kemunculan varian COVID-19 yang baharu dan teruk. Pada masa ini, minyak mentah Brent didagangkan pada AS$126.8 setong.\u00c2\u00a0Apabila sempadan negara dibuka semula, kita akan beransur-ansur kembali ke tahap prapandemik dan ini akan memacu ekonomi ke hadapan,\u201c katanya semasa sesi yang diadakan sempena Persidangan Prospek Malaysia 2022.\nSesi itu bertajuk Pemulihan Ekonomi dan Ketahanan di Malaysia dikendalikan oleh IDEAS.\nKetua Pegawai Strategik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Nurhisyam Hussein turut bersetuju dan menyatakan bahawa walaupun Malaysia tidak mempunyai tahap pendedahan perdagangan yang tinggi dengan Rusia dan Ukraine, negara bekas Kesatuan Soviet itu banyak terlibat dalam industri semikonduktor dan pengeluar utama komoditi seperti gandum dan logam.\nShakira turut menekankan kepentingan kerajaan untuk terus menangani isu jaringan keselamatan sosial, khususnya bagi kumpulan rentan yang bertujuan untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, kesihatan dan pendidikan serta usaha membasmi kemiskinan.\n\u201cKerajaan harus menyiasat isu jaringan keselamatan sosial, terutamanya berkaitan subsidi dan kawalan harga, kerana pada masa ini, 50% daripada subsidi kerajaan disalurkan kepada bahan api, yang bukan subsidi yang disasarkan, mengakibatkan ketidakcekapan,\u201c tambahnya.\nSementara itu, Nurhisyam menambah bahawa trajektori pemulihan negara berada di landasan yang betul dengan petunjuk ekonomi utama menjurus ke arah pemulihan ekonomi yang mampan.\n\u201cBagi KWSP, kami melihat asas keahlian aktif bertambah baik dan kembali ke tahap prapandemik, yang mana 7.7 juta ahli aktif direkodkan berbanding 7.6 juta pada Disember 2020. \u201cPencarum bulanan aktif meningkat kepada 5.8 juta berbanding 5.6 juta pada Disember 2020 dan trend peningkatan didapati melalui pendaftaran dan sumbangan ahli selepas pembukaan semula ekonomi.\u201c" "Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Lancarkan Jerayawara Mystartup dan Dua Geran Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJohor Bahru\u00a0\u2013 Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba melancarkan MYStartup Roadshow dan Geran Pembiayaan Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle), iaitu CIP SPARK dan CIP SPRINT. MYStartup anjuran Cradle agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ialah inisiatif yang dilaksanakan untuk memperkasakan ekosistem dan komuniti perniagaan permulaan (startup) di Malaysia menerusi pengisian program yang menumpukan pembangunan dan perkembangan startup secara mampan serta pembangunan kapasiti dan modal insan.\nDato\u2019 Sri Dr. Adham berkata, \u201cJohor ialah lokasi pertama dalam siri jelajah ini. Dengan sokongan daripada Iskandar Investment Berhad, Common Ground Iskandar Space dan INFINITY 8 sebagai rakan strategik, hal ini menjadikan usaha MOSTI serta Cradle dalam memajukan lagi komuniti startup berada di landasan yang tepat\u201d.\nMOSTI bersama-sama Cradle melancarkan Program MYStartup untuk memastikan ekosistem startup di Malaysia dapat diperkukuh melalui program sokongan dan bimbingan teknikal yang lebih terangkum dan menyeluruh. Siri jelajah ini merupakan inisiatif tahunan Cradle yang bertujuan merapatkan jurang bagi startup yang berada di negeri lain serta memastikan mereka mendapat pendedahan dan peluang yang saksama kepada perkhidmatan yang disediakan oleh Cradle.\nSepanjang MYStartup Roadshow, Cradle akan memberikan penerangan terperinci serta hebahan mengenai program yang dilaksanakan bersama-sama dengan rakan strategik mereka. Ini termasuk kaedah-kaedah penyertaan bagi startup, kriteria permohonan geran, pemadanan perniagaan dengan dana yang bersesuaian dan sesi rangkaian.\nPada masa yang sama, dua geran baharu turut dilancarkan, iaitu CIP SPARK yang merupakan geran pembangunan bersyarat (Conditional Development Grant) yang menawarkan tempoh pembiayaan hingga 18 bulan dan terbuka kepada individu, syarikat persendirian, perkongsian liabiliti terhad dan syarikat jenis sendirian berhad. Manakala, CIP SPRINT pula merupakan geran pengkomersialan bersyarat boleh ubah (Conditional Convertible Commercialisation Grant) yang menawarkan tempoh pembiayaan selama 18 bulan dan terbuka kepada syarikat jenis sendirian berhad, termasuk syarikat milikan universiti dan institut penyelidikan.\nKedua-dua geran diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 ini merangkumi pembiayaan bagi pembangunan dan prapengkomersialan yang bertujuan membantu usahawan teknologi di peringkat awal untuk membangun dan mengkomersialkan produk mereka di pasaran. Selain menerima suntikan dana, pemohon CIP SPARK dan CIP SPRINT yang berjaya akan disokong dengan akses kepada rangkaian perniagaan serta perkhidmatan tambah nilai lain seperti pembangunan model perniagaan, bimbingan kemahiran pengesahan pasaran dan akses kepada pasaran.\nSiri jelajah MYStartup ini akan diperluas ke lokasi lain di seluruh negara antaranya Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak bagi memastikan komuniti startup yang berada di luar kawasan Lembah Klang tidak terlepas peluang bagi mendapat manfaat daripada acara-acara pemerkasaan startup melalui Program MYStartup." "Penamatan Program Khas Peremitan Pendapatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin merujuk\u00a0 Program Khas Peremitan Pendapatan (PKPP) yang telah ditawarkan melalui Kenyataan Media bertarikh 16 November 2021. HASiL telah membuat keputusan untuk menamatkan PKPP yang telah ditawarkan tersebut berkuat kuasa mulai tarikh kenyataan media ini dikeluarkan susulan daripada pengumuman oleh Kementerian Kewangan Malaysia bertarikh 30 Disember 2021 tentang penambahbaikan dasar layanan cukai terhadap pendapatan luar negara.\nKeputusan untuk menamatkan PKPP ini dibuat setelah mengambil kira pengecualian cukai yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan terhadap pendapatan daripada punca luar negara yang diterima di Malaysia oleh individu pemastautin (selain pendapatan perkongsian). Layanan pengecualian yang sama juga diberikan kepada\u00a0pendapatan dividen daripada punca luar negara yang dibawa masuk oleh syarikat dan perkongsian liabiliti terhad. Pengecualian ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan dalam Perintah Cukai Pendapatan (Pengecualian) yang akan dikeluarkan di bawah seksyen 127 Akta Cukai Pendapatan 1967.\nWalau bagaimanapun, pendapatan punca luar negara lain yang tidak dikecualikan dan dibawa masuk ke Malaysia mulai 1 Januari 2022 hendaklah dilaporkan dalam Borang Nyata bagi tahun taksiran yang berkaitan. Pendapatan luar negara yang masih tertakluk kepada cukai dan dibawa masuk ke Malaysia dalam tempoh 1 Januari 2022 hingga 30 Jun 2022 akan dikenakan cukai pada kadar konsesi 3% seperti yang diumumkan melalui Bajet 2022 dan diperuntukkan di bawah Akta Kewangan 2021. Selepas tamat tempoh tersebut, kadar cukai asal akan terpakai mengikut kategori pembayar cukai yang berkenaan.\nSebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan dengan perkara ini boleh diajukan kepada HASiL melalui:\n(a) \u00a0Hasil Care Line di talian 03-8911 1000/603-8911 1100 (luar negara);\n(b) \u00a0HASiL Live Chat; dan\n(c) \u00a0Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas,\nhttps://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/." "RHB Kekalkan Unjuran KDNK 2022 Pada 5.5%\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 RHB Banking Group mengekalkan unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara pada 5.5% bagi tahun 2022 susulan jangkaan aktiviti ekonomi yang perlahan pada suku pertama.\nKetua ahli ekonomi dan ketua penyelidikan pasaran kumpulan, Sailesh K Jha menyatakan bahawa momentum jualan runcit bagi asas bulan ke bulan dijangka perlahan pada Februari dan Mac, manakala pada Januari, momentum berkemungkinan meningkat berikutan sokongan daripada musim perbelanjaan sempena perayaan Tahun Baharu Cina.\n\u201cPenilaian ini adalah berasaskan kepada indeks jualan runcit sebenar kami setakat akhir Februari 2022. Oleh itu, kami tidak akan terkejut sekiranya KDNK suku pertama 2022 mencatatkan pertumbuhan perlahan bagi asas suku ke suku berbanding separuh kedua 2021. \u201cPada Februari dan Mac kami menjangkakan pasaran buruh akan menunjukkan kadar peningkatan perlahan,\u201c katanya dalam satu nota penyelidikan.\nBeliau turut menambah sentimen pengguna juga dijangka menerima kesan daripada isu berkaitan varian Omicron dan konflik di Ukraine. Menurut Sailesh, aktiviti industri yang bergantung besar kepada import bahagian dan komponen seperti auto dan produk elektrik dan elektronik akan dijangka menyederhana dalam tempoh terdekat disebabkan oleh kesesakan rantaian bekalan di sektor perkapalan Asia selain Jepun. Sementara itu, kesan musiman daripada musim perayaan pada Mei boleh menyediakan sedikit rangsangan kepada perbelanjaan pengguna bagi suku kedua 2022." "Ringgit Dibuka Rendah Berbanding Dolar AS\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Ringgit diniagakan rendah berbanding dolar AS pada sesi dagangan awal hari ini\u00a0 ketika minat belian baharu untuk dolar AS. Pada pukul 9.05 pagi, mata wang tempatan didagangkan pada 4.1870/1905 berbanding dolar AS daripada 4.1860/1895 pada penutupan Khamis.\nRakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes menyatakan bahawa dolar AS terus disokong oleh hasil Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi terutama menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan minggu depan. Sementara itu, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.\nMata wang tempatan mengukuh berbanding yen kepada 3.5989/6023 dari 3.6102/6135 pada penutup Khamis dan meningkat berbanding pound Britain pada 5.4799/4845 dari 5.5134/5180 semalam.\nNilai ringgit lebih tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0794/0822 daripada 3.0800/0830 pada Khamis dan menambah nilai berbanding euro kepada 4.6057/6096 daripada 4.6230/6269." "Syarikat Berkaitan Kerajaan Komited Agenda Mempercepat Pemulihan dan Pertumbuhan Ekonomi Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n(GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) yang membantu membina asas pembangunan sosioekonomi Malaysia selama hampir lima dekad, hari ini menzahirkan komitmen untuk terus menyokong usaha kerajaan bagi mempercepat pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara pasca-COVID-19.\nKomitmen ini dizahirkan bersempena dengan Hari Terbuka GLC (11 Mac hingga 13 Mac 2022) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, disaksikan oleh\u00a0Menteri Kewangan, Yang Berhormat (YB) Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz\u00a0dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Dato\u2019 Seri Mohamed Azmin Ali.\nMenerusi mandat masing-masing, setiap GLIC dan GLC komited untuk memainkan peranan dalam memastikan keberhasilan dan impak positif melalui langkah-langkah bagi memastikan kemakmuran sosio-ekonomi Keluarga Malaysia dalam jangka pendek, sederhana dan panjang.\nMenurut Tengku Zafrul \u201cPandemik COVID-19 mengubah hidup dan cara kita beroperasi secara total, samada pada peringkat individu mahupun perniagaan; menyerlahkan pelbagai kelemahan yang telah lama bertapak\u00a0 dalam struktur sosioekonomi kita. Sehubungan itu, dalam usaha kita untuk terus menambah baik ekosistem GLC ini, kita juga harus mengambil kesempatan ini untuk memperkasakan GLIC dan GLC bagi membantu Kerajaan menangani isu-isu struktur tersebut. Dengan pendekatan ini, kita bukan sahaja akan mempercepatkan pemulihan ekonomi negara, tetapi juga mampu membina sebuah ekonomi yang berdaya tahan dan lestari.\u201d\nSetakat ini, ekosistem GLC dan GLIC merangkumi kira-kira RM445 bilion atau 25% permodalan pasaran Bursa Malaysia, memberikan pekerjaan langsung kepada 500 000 rakyat\u00a0dan merupakan antara penyumbang terpenting dalam rantaian bekalan negara.\nBertemakan\u00a0\u201cAspirasi Masyarakat Inspirasi Negara\u201c, usaha yang diutamakan oleh GLC dan GLIC adalah berpaksikan kepada lima (5) fokus utama iaitu:\nKesemua usaha ini juga akan menyumbang kepada pelaksanaan visi Kerajaan bagi pemulihan ekonomi jangka pendek dan penyusunan semula struktur ekonomi bagi membina daya tahan jangka masa sederhana dan panjang.\nPeranan GLC dan GLIC di Malaysia turut merangkumi tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersepadu menerusi Rangkaian Tindak Balas Bencana GLC/GLIC (GDRN). Sebelum ini digelar \u201cGLC/GLIC Disaster Relief Network\u201d,\u00a0penampilan baharu GDRN juga telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Seri Ismail Sabri Yaakob sempena Hari Terbuka GLC 2022.\u00a0GDRN kini dikenali sebagai\u00a0\u201cGLC Demi Rakyat dan Negara\u201d, selaras dengan perluasan skop merangkumi Pendidikan, Kesejahteraan dan Kelestarian Kehidupan dan Respons Kemanusiaan.\nPlatform GDRN ini menyelaraskan setiap usaha CSR GLIC/GLC yang merangkumi pendidikan, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan hidup bagi memastikan keberhasilan, mengurangkan pertindihan dan meningkatkan kecekapan dalam menggunapakai peruntukan sumber dalam pelaksanaan tanggungjawab sosial.\nHari Terbuka GLC 2022 yang berlangsung pada 11 Mac hingga 13 Mac 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menyaksikan penyertaan 25 buah GLIC/GLC.\nKeluarga Malaysia dijemput untuk bersama-sama hadir dan mengambil peluang yang disediakan bersempena Hari Terbuka GLC 2022 bagi manfaat bersama dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai\u00a0peluang-peluang pekerjaan, biasiswa\u00a0dan tawaran lain yang disediakan oleh GLC dan GLIC.\nDengan landskap global yang berubah pantas, Kerajaan yakin ekosistem GLIC/GLC yang ditambahbaik akan terus membantu membina sebuah masa hadapan yang lebih Makmur, sejahtera, mampan dan inklusif bagi Keluarga Malaysia." "Movenpick KLIA Optimis Kebangkitan Industri Perhotelan Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Industri perhotelan mampu bangkit semula tahun ini setelah hampir dua tahun terjejas akibat pandemik COVID-19. Pengurus Besar Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen KLIA, Wan Enderi Mohd Saad menyatakan bahawa sektor perhotelan kini bergerak dalam landasan betul untuk pemulihan operasi.\nBeliau menambah bahawa keseluruhan industri kini mampu bernafas semula jika dibandingkan dalam tempoh lima hingga enam bulan lalu ketika kadar jangkitan masih lagi tinggi. Pihak hotel mengambil pendekatan mempelbagaikan strategi perniagaan termasuk berfungsi sebagai pusat kuarantin bagi memastikan operasi terus berjalan walaupun pada skala yang kecil ketika tempoh pandemik COVID-19. Movenpick KLIA merekodkan pertumbuhan kadar penginapan yang lebih baik susulan pembukaan ekonomi secara berperingkat mulai Oktober apabila dibuka semula November lalu.\n\u201cKami melihat tempoh dua bulan terakhir 2021 sangat positif dan gembira apabila Januari 2022 juga tanpa diduga mencatatkan prestasi yang cemerlang. \u201cOleh itu, kami berharap trend pemulihan ini akan berterusan walaupun kami mengambil langkah berhati-hati terhadap persekitaran pandemik ketika ini.\u201c Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan acara previu bufet iftar Ramadan di hotel tersebut baru-baru ini.\nMovenpick KLIA dimiliki sepenuhnya Lembaga Tabung Haji dengan bertaraf lima bintang, mula dibuka pada 2018 dan diuruskan rangkaian perhotelan global terbesar, Accor berpangkalan di Perancis. Kompleks hotel di kawasan seluas tujuh hektar itu mengandungi 333 bilik serta berstatus patuh syariah terletak berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).\nWan Enderi menambah bahawa Movenpick KLIA akan menyambung semula perancangan yang sudah diatur sejak dua tahun lalu setelah\u00a0 tertangguh akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan. \u201cAntaranya, kami akan meneruskan projek taman tema air di aras bumbung pada tahun ini, selain menambah banyak kemudahan baharu untuk menarik ramai pelanggan khususnya berkeluarga atau berkumpulan.\u201c Selain itu, pihak hotel juga kini bersedia menerima ribuan bakal jemaah haji sebelum mereka ke Tanah Suci.\nBeliau juga yakin kemungkinan tahun ini tiada lagi penangguhan penghantaran kumpulan jemaah haji Malaysia berdasarkan pelbagai langkah protokol kesihatan ketat oleh kerajaan Arab Saudi bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.\n\u201cSehubungan itu, kami sudah merangka pelbagai pelan tindakan sekiranya Malaysia dapat menghantar semula jemaah haji untuk musim ini.\u201c" "Harga Minyak Sawit Mentah Dijangka Capai RM9300 Satu Tan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Nerang \u2013 Harga minyak sawit mentah\u00a0 dijangka meneruskan kenaikan sekurang-kurangnya sehingga suku ketiga tahun ini dan diunjur mencapai sehingga paras RM9300 satu tan.\nMenteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin menyatakan bahawa angka itu mampu dicapai berdasarkan perkembangan dagangan kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah di Bursa Malaysia. \u201cKalau ikut Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah, memang akan cecah sampai RM9300 satu tan. Sekarang sampai Jun kita rasa trend peningkatan harga sawit ini akan berterusan sehingga ke suku ketiga tahun ini.\n\u201cPaling cepat kenaikan itu mencapai paras RM9300 pada suku ketiga, kalau tidak mungkin boleh berlanjutan sampai hujung tahun,\u201c katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah Pusat Pemprosesan Getah Krip dan Projek Transformasi Perusahaan Getah (TARGET). Beliau diminta mengulas trend kenaikan harga minyak sawit mentah yang sebelum ini dilaporkan melonjak melebihi RM8000 pada awal bulan lalu dan kini berada pada paras RM7546 satu tan setakat Khamis lalu.\nZuraida berkata kenaikan harga itu sememangnya memberikan keuntungan kepada peladang dan kerajaan, namun mungkin memberi kesan kepada peningkatan harga produk berkaitan minyak sawit yang digunakan pengguna. \u201cTapi bagaimana pun kita tetap beri subsidi iaitu sebanyak 20% daripada minyak sawit mentah kita, jadi tidak menjadi isu (walaupun harga minyak sawit mentah melonjak),\u201c katanya." "Aliran Masuk Asing Berkurangan kepada RM649 Juta Minggu Lalu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pelabur asing dan runcit membeli bersih ekuiti bagi minggu berakhir 11 Mac dengan mencatat aliran masuk sebanyak RM896.5 juta. Bagaimanapun, aliran masuk asing bagi minggu tersebut pula berjumlah RM649 juta, lebih rendah berbanding minggu sebelumnya iaitu sebanyak RM1.08 bilion.\nMenurut laporan aliran dana mingguan MIDF Research,\u00a0 pelabur runcit dan asing masing-masing membeli RM57.8 juta dan RM142.6 juta ekuiti tempatan. \u201cPelabur institusi tempatan pula memulakan minggu tersebut dengan menjual ekuiti sebanyak RM200.4 juta,\u201c katanya dalam laporan itu hari ini. Berdasarkan laporan tersebut, pelabur asing membeli ekuiti setiap minggu sejak sebulan lalu mulai 7 Februari, menjadikan\u00a0 25 hari berturut-turut tanpa gangguan.\nAliran masuk asing paling tinggi direkodkan pada Khamis minggu lalu sebanyak RM172.6 juta dan terendah pada Selasa sebanyak RM76.36 juta. Pelabur institusi tempatan pula menjual ekuiti sejak 4 Februari lalu, dengan aliran keluar minggu paling tinggi direkodkan pada Rabu sebanyak RM223.7 juta manakala paling rendah, RM84.49 juta.\nSementara itu, pelabur runcit membeli ekuiti setiap hari minggu lalu kecuali Jumaat sebanyak RM32.5 juta. Pembelian ekuiti paling tinggi direkodkan pada Selasa sebanyak RM121.7 juta manakala paling rendah pada Khamis sebanyak RM17.21 juta.\n\u201cSecara keseluruhan, bagi minggu kesepuluh tahun ini, pelabur asing membeli RM649.1 juta ekuiti diikuti pelabur runcit, RM247.4 juta manakala pelabur institusi tempatan menjual RM896.5 juta.\u201c Dari segi penyertaan pelabur menyaksikan pelabur runcit, institusi tempatan dan asing masing-masing mencatat pergerakan nilai purata dagangan sebanyak +8.09%, -2.09% dan -14.3%. \u201cBagi asas tahun ke tahun, kami mendapati sebanyak RM4.41 bilion aliran masuk daripada pelabur asing manakala RM630 juta daripada pelabur runcit. \u201cPelabur institusi tempatan pula satu-satunya penjual bersih ekuiti tempatan sebanyak RM5.04 bilion,\u201c jelas laporan tersebut." "Mengangkat Nilai Bahasa Melayu melalui Aktiviti Kebahasaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2212Bahasa Melayu milik semua. Sehubungan dengan itu, penghasilan karya yang memaparkan kearifan tempatan dalam bahasa Melayu tidak sepatutnya dicantas oleh penerbit. Hal ini demikian kerana kearifan tempatan itulah yang mewarnai kepelbagaian dalam sastera kebangsaan. Demikian penerangan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul, dari Universiti Malaysia Sabah, yang memulakan perbincangan dalam Bicara Bahasa dan Sastera Kebangsaan yang bertemakan \u201cBahasa dan Sastera Milik Bersama\u201c Siri 2, yang bersiaran secara langsung pada pukul 10.00 pagi tadi menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP.\nBegitu juga halnya dengan penggunaan bahasa Melayu dalam persembahan Menora dalam kalangan masyarakat Siam yang membuktikan berlakunya kepelbagaian dalam sastera kebangsaan. Hal ini dikupas dan dikongsi oleh Dr. Phat a/l Awang Deng, dari Universiti Utara Malaysia. Walau bagaimanapun, menurutnya lagi, persembahan Menora kini semakin pupus apabila generasi muda tidak lagi mewarisi budaya ini.\nApabila bahasa dan sastera dikatakan sebagai milik bersama, hal ini bermakna bahawa setiap lapisan masyarakat perlu menggembleng tenaga untuk memartabatkan bahasa. Penekanan dalam penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda juga perlu diberi perhatian.\nKenyataan itu turut dipersetujui oleh Dr. Selvajothy Ramalingam dari Yayasan Tamil Malaysia yang meyakini bahawa penekanan dalam aktiviti kebahasaan tanpa memilih bangsa akan meningkatkan penggunaan bahasa dalam kalangan masyarakat.\nDalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, penglibatan pelbagai persatuan di seluruh negara juga perlu dilonjakkan. Menurut Encik Phun Teck Seng, Timbalan Presiden Majlis Bahasa Cina (MBC), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk memartabatkan bahasa Melayu sentiasa mengadakan kerjasama dengan semua persatuan. Antaranya termasuklah mengadakan kerjasama dengan Majlis Bahasa Cina yang perlu dieratkan lagi bagi meningkatkan tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan kaum Cina.\nDBP perlu mengambil peluang dengan kesediaan persatuan yang ada untuk bekerjasama bagi memartabatkan bahasa Melayu. Penghasilan karya sastera dalam bahasa Melayu dan program membaca dalam kalangan pelajar Cina oleh MBC boleh membantu DBP menyebarluaskan bahasa Melayu.\nTambah\u00a0Encik Jufitri Joha, iaitu Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) pula, MBM dianggotai oleh golongan muda yang terdiri daripada pelbagai kaum. Oleh itu, usaha untuk membina jati diri anak-anak muda ini perlu dititikberatkan untuk meningkatkan nilai bahasa Melayu." "Majlis Pelancaran Advokasi Kepenggunaan Melalui Medium Pengangkutan Awam dan Hari Hak-hak Pengguna Sedunia 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKajang \u2013 Tahun ini merupakan julung-julung kalinya negara kita menyambut Bulan Pengguna Kebangsaan 2022 (BPK) setelah Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada bulan Disember 2021 bersetuju mengisytiharkan bahawa bulan Mac setiap tahun ialah Bulan Pengguna Kebangsaan dan\u00a0 15 Mac ialah Hari Hak-hak Pengguna Kebangsaan bersempena dengan sambutan Hari Hak-hak Pengguna Sedunia atau World Consumer Rights Day sebagaimana yang ditetapkan oleh Consumers International yang beribu pejabat di London.\nTema ini menjurus ke arah kesaksamaan kewangan digital. Berteraskan tema ini juga, digitalisasi pengguna dipilih sebagai tema sambutan Hari Pengguna Kebangsaan yang lebih menggambarkan senario perubahan trend pengguna di Malaysia ke arah urus niaga perkhidmatan dan pembelian menggunakan platform digital.\nPengisytiharan ini merupakan satu pengiktirafan dan komitmen\nkerajaan bahawa pengguna di Malaysia merupakan satu entiti terpenting yang hak-hak mereka harus dirakyatkan dan dilindungi seperti juga hak-hak yang lain seperti Wanita dan Ibu yang dirayakan setiap tahun.\nKementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Kajian Indeks Pendayaupayaan Pengguna Malaysia yang dijalankan pada tahun 2020 mengakui tahap pengetahuan pengguna Malaysia tentang hak-hak mereka sebagai pengguna dan jati diri untuk mempertahankan hak mereka masih terlalu sederhana, iaitu 63.1%. Oleh itu, KPDNHEP mengajak semua pihak terutama Pertubuhan Bukan Kerajaan Pengguna, Persatuan Pengguna pada peringkat universiti,\u00a0 kolej dan masyarakat pengguna untuk merancakkan advokasi dan pendidikan berkenaan hakpengguna serta saluran aduan dan tindakan untuk melindungi hak-hak mereka daripada tipu daya\u00a0 peniaga yang tidak beretika serta penyedia perkhidmatan yang tidak bertanggungjawab.\nKPDNHEP juga menyeru supaya taktik dan teknik penyampaian advokasi itu dipelbagaikan bersesuaian dengan teknologi masa kini dan kehendak semasa agar ianya berkesan dan cepat meresap menjadi budaya kepenggunaan yang sihat dan mampan.\nSatu medium baharu yang diambil oleh KPDNHEP ialah advokasi melalui pengangkutan awam. Pelaksanaan ini dibuat melalui kerjasama penyedia perkhidmatan pengangkutan awam, Mass Rapid Transit atau MRT.\nPerkhidmatan MRT ini dipilih kerana perkhidmatan ini mempunyai sebahagian besar pengguna, khususnya di Lembah Klang sebagai medium pengangkutan harian dan merupakan model pengangkutan awam masa depan yang menyerapkan elemen digitalisasi secara meluas.\nKerjasama ini dilihat bersesuaian dan mampu memberikan impak positif kerana capaian kepada pengguna yang dimiliki oleh MRT dengan purata 62 000 orang penumpang sehari yang\u00a0 pengguna akan menghabiskan sebahagian masa mereka berada di dalam koc MRT untuk ke destinasi masing-masing setiap hari.\nKementerian juga sentiasa mengenal pasti kaedah lain untuk menyampaikan maklumat kepada pengguna, antaranya termasuklah kerjasama dengan pemoengaruh dan platform e-dagang di samping medium konvensional bagi meluaskan hebahan berkenaan dengan hak pengguna dan contoh kes hak tersebut dicabuli dan dimanipulasi." "Kebenaran Import Semula Lembu dan Kerbau dari Negara Thai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia atau Department Of Veterinary Services Malaysia (DVS) bersama-sama Department of Livestock Development Thailand (DLD) telah mencapai persetujuan mengenai beberapa langkah pengawalan penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) melibatkan pengimportan lembu dan kerbau.\nSehubungan dengan itu, DVS mengumumkan penarikan balik larangan import lembu dan kerbau dari negara Thai berkuatkuasa serta-merta.\nKeputusan ini dibuat setelah beberapa penambahbaikan dalam peraturan dan prosedur import dilakukan. Keputusan ini juga turut mengambil kira beberapa langkah mitigasi yang boleh diambil dalam negara bagi mengawal penyakit LSD.\nSehubungan dengan itu, DVS ingin memohon semua pemain industri (pengimport, peraih dan penternak) memberikan kerjasama dengan memastikan pembelian ternakan dari negara Thailand dibuat melalui pembekal ternakan yang sah danberdaftar dengan DLD. Hal ini bertujuan memastikan segala prosedur dalam pengawalan penyakit LSD dapat dipatuhi dan mengelakkan daripada ternakan berpenyakit masuk ke Malaysia.\nDalam hal yang sama, dijangkakan bekalan ternakan lembu dan kerbau untuk keperluan penyembelihan hari raya tidak terganggu dan mencukupi." "Menteri Ekonomi ASEAN Rangka Rancangan Kerja Serantau\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato\u2019 Seri Mohamed Azmin Ali berserta sembilan Menteri Ekonomi ASEAN dijadual merangka Rancangan Kerja Ekonomi Serantau bagi 2022 dalam Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-28 secara maya pada Rabu.\nKementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyatakan bahawa sesi pemukiman tersebut akan turut meneruskan perbincangan dalam menetapkan keutamaan bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi serantau. \u201cDi bawah tema \u2018ASEAN A.C.T.: Addressing Challenges Together,\u2019 Kemboja selaku Pengerusi ASEAN bagi 2022 akan membentangkan 19 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) yang bertunjangkan empat teras iaitu Meningkatkan Kesalinghubungan Digital, Sains dan Teknologi; Mengurangkan Jurang Pembangunan Daya Saing ASEAN; Menggalakkan ASEAN yang lebih Bersepadu, Inklusif, Berdaya Tahan dan Berdaya Saing dan Memperkasa Pembangunan dan Pertumbuhan ASEAN di Peringkat Global.\u201c\nMITI juga menyifatkan PED yang dicadangkan oleh Kemboja sebagai bertepatan dengan agenda pemulihan dan pertumbuhan ekonomi yang sedang dilaksanakan oleh ASEAN.\n\u201cMenteri-Menteri Ekonomi ASEAN dijangka menyokong kesemua PED tersebut di samping mengesyorkan hala tuju pelaksanaannya.\u201c Pada masa sama, barisan menteri terbabit juga dijangka melancarkan Rundingan Penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA).\n\u201cSelepas lebih sedekad pelaksanaannya, cadangan untuk menambah baik perjanjian ini yang juga salah satu PED ASEAN bagi 2022,\u00c2\u00a0 tepat pada masanya untuk memastikan ATIGA terus relevan dalam memacu rantau ASEAN menjadi ekonomi yang lebih bersepadu.\u201c Ini penting bagi ASEAN untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi serantau yang berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.\u201c" "Malaysia Kekalkan Rangkaian Borong Tunggal bagi Pelaksanaan Rangkaian 5G Nasional\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKerajaan pada 11 Mac 2022 dalam Mesyuarat Mingguan Jemaah Menteri telah menimbang Memorandum Jemaah Menteri yang dibentangkan oleh\u00a0 Kementerian Kewangan (\u201cMOF\u201d), dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (\u201cKKMM\u201d) berhubung dengan kaedah terbaik pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia.\nSetelah mengambil kira pelbagai pilihan yang dikemukakan\u00a0 laporan dan pandangan pemegang taruh, maka kerajaan mengambil keputusan untuk mengubah dan menambah baik tatacara pelaksanaan perkhidmatan rangkaian 5G yang dilaksanakan secara Rangkaian Borong Tunggal (Single Wholesale Network\u00a0 \u201cSWN\u201d).\nAntara perubahan utama ialah Digital Nasional Bhd (DNB) disusun semula dengan membuka pegangan sahamnya hingga 70% oleh semua MNO yang mempunyai pengalaman mengendalikan spektrum di negara ini. Pemilikan, nilai ekuiti dan aspek lain berkaitan dengan cadangan penyertaan ekuiti ini adalah tertakluk pada rundingan antara DNB dengan syarikat-syarikat telekomunikasi yang perjanjian disasarkan untuk dimuktamadkan dalam masa terdekat.\nPenyertaan syarikat-syarikat telekomunikasi dalam DNB membolehkan mereka terlibat dalam pelaksanaan rangkaian 5G negara. Pengalaman syarikat telekomunikasi dalam membangunkan rangkaian 3G dan 4G di Malaysia juga boleh membantu melancarkan pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia.\nSelain itu, pelaksanaan model SWN ini akan memastikan tiada implikasi kewangan tambahan ke atas kontrak yang telah termeterai dengan penyedia perkakasan rangkaian yang dilantik iaitu Ericcsson (Malaysia) Sdn. Bhd. yang merangka pelan pelaksanaan dengan mengoptimumkan kerja kontrak dan perkhidmatan bagi vendor tempatan, dengan anggaran 61% daripadanya dapat memanfaatkan kepentingan Bumiputera.\nPelaksanaan rangkaian dan infrastruktur 5G merupakan tonggak utama ke arah merealisasikan aspirasi ekonomi digital negara, seperti yang terkandung di dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Pendekatan perkongsian awam-swasta Keluarga Malaysia ini juga akan memudahkan DNB mencapai sasarannya untuk meliputi 80% kawasan berpenduduk negara menjelang tahun 2024, yang 5G akan dibekalkan pada harga borong kurang daripada RM0.20 setiap Gigabait (GB), lebih rendah daripada kos semasa untuk menghasilkan 4G.\n\u201cEkonomi digital menyediakan peluang baharu yang luar biasa kepada Malaysia terutamanya dalam mempercepat kesalinghubungan di seluruh negara pada era pascapandemik ini, untuk memudahkan usaha pemulihan serta pencapaian status negara berpendapatan tinggi.\nPelaksanaan 5G akan memacu transformasi sosioekonomi negara dan ini dianggarkan akan menyumbang sebanyak RM650 bilion kepada nilai KDNK hingga tahun 2030. Pengekalan model SWN juga merupakan pendirian tegas kerajaan terhadap kesinambungan dasar di Malaysia. Hal ini juga melambangkan model perkongsian awam-swasta Malaysia yang kukuh, serta ekosistem pembiayaan sektor swasta yang mantap, yang secara keseluruhan akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia,\u201d ujar Menteri Kewangan Malaysia, YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Abdul Aziz.\nDengan mengumpulkan kesemua spektrum yang dikenalpasti untuk 5G bagi penggunaan eksklusif DNB, pemain industri yang melanggan perkhidmatan secara borong akan dapat memberikan kualiti perkhidmatan yang tinggi hasil penggunaan spektrum yang optimum. Satu rangkaian juga akan memastikan penjimatan kos. Penjimatan kos ini akan dikongsi dengan pemain industri, dan seterusnya kepada pengguna perkhidmatan 5G.\n\u201cRakyat seharusnya menikmati akses kepada perkhidmatan 5G berkualiti tinggi secara adil, saksama dan pada harga berpatutan, terutamanya untuk membantu mempercepat pemulihan ekonomi Malaysia pascapandemik pada tahun akan datang.\nModel SWN akan membantu merapatkan \u201cjurang digital\u201c bandar-luar bandar bagi membolehkan kesemua rakyat Malaysia menikmati perkhidmatan 5G berkualiti tinggi dan dibekalkan secara meluas kepada mereka melalui syarikat telekomunikasi,\u201c kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar Haji Musa.\nPengekalan SWN ini secara langsung meneruskan semua perancangan, pembelian peralatan dan pelantikan syarikat tempatan dalam melaksanakan kerja pembangunan rangkaian. Hal ini juga akan mengekalkan kontrak dengan pembekal peralatan yang dipilih secara tender terbuka berdasarkan amalan terbaik antarabangsa.\nDNB seterusnya akan dikawal selia oleh KKMM selaku Kementerian yang bertanggungjawab ke atas industri komunikasi melalui SKMM, sepertimana syarikat- syarikat telekomunikasi lain. MOF pula akan terus memantau DNB dari segi tadbir urus dan sebagai pemegang saham." "Arab Saudi dan China Bincang Guna Yuan untuk Transaksi Minyak Mentah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Arab Saudi dilapor sedang berbincang dengan China untuk melaksanakan transaksi jualan minyak menggunakan mata wang Yuan. Jika keadaan ini berlaku, situasi itu dijangka menjejaskan dominasi dolar AS dalam transaksi minyak dunia.\nMenurut laporan Wall Street Journal yang memetik sumber, jika situasi itu berlaku, sebahagian besar transaksi minyak dunia akan bertukar mata wang melibatkan negara pengeluar minyak terbesar dan negara pengimport minyak terbesar dunia. Sekitar 80% jualan minyak global menggunakan dolar AS dan Arab Saudi sudah menggunakan mata wang itu sejak tahun 1974.\nJusteru jika persetujuan dicapai, situasi itu bakal meningkatkan pengaruh Yuan pada peringkat antarabangsa sekaligus membawa Beijing ke hadapan dalam mencabar Amerika Syarikat melibatkan pasaran kewangan. Hubungan Arab Saudi dan Amerika Syarikat mula renggang selepas\u00a0 kepimpinan\u00a0 AS di bawah Joe Biden enggan melakukan lebih banyak usaha berkaitan perang saudara di yaman.\nPada tahun 2020, Biden pernah menyifatkan Arab Saudi sebagai bukan negara sekutu sebaliknya hanya negara rakan kongsi. Hubungan dingin itu lebih terserlah apabila Putera Mahkota Putra Mohammed bin Salman enggan menerima panggilan telefon Biden yang mahu berbincang soal meningkatkan bekalan minyak." "AirAsia X Umumkan Penstrukturan Semula Hutang sudah Selesai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 AirAsia X Bhd (AAX) telah mengemukakan perintah sekatan bagi penstrukturan semula hutangnya kepada Pendaftar Syarikat (ROC) dengan formaliti penstrukturan semula kini sudah selesai. AAX menyatakan bahawa cadangan penstrukturan semula hutang itu telah diluluskan oleh pemiutangnya pada 12 November 2021 dan Mahkamah Tinggi Malaya pada 16 Disember 2021.\n\u201cPerintah sekatan itu bermakna bahawa kesan kewangan boleh diiktiraf dalam penyata kewangan syarikat dan seterusnya AAX akan dapat memulihkan liabiliti berjumlah RM33 bilion dan peruntukan untuk liabiliti yang telah diketepikan di bawah skim itu.\u201c Kesan penuh ke atas penyata pendapatan dan lembaran imbangan syarikat itu akan dinyatakan dalam pengumuman suku tahunan Bursa Malaysia.\u201c Penyerahan perintah sekatan itu kini akan membuka jalan bagi meneruskan cadangan pengumpulan dana.\nKetua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail menyatakan bahawa langkah terbaharu yang diambil oleh AAX itu merupakan satu lagi langkah penting dalam membina semula syarikat, pasca pandemik.\n\u201cKami kembali beroperasi pada kedudukan yang kukuh di mana kami sekali lagi boleh menawarkan tambang nilai terbaik dan perkhidmatan pelanggan yang cemerlang oleh pelanggan kami.\u201c\nPerkhidmatan kargo telah menjadi talian hayat yang kukuh untuk AAX dan pemulihan yang sedang berlaku sekarang ialah gabungan dengan penekanan yang sama terhadap pendapatan terhadap perkhidmatan kargo dan penumpang.\nBeliau menyatakan bahawa dalam tempoh dua bulan akan datang, AAX akan memulakan semula perkhidmatan pesawat penumpang ke beberapa lagi destinasi antarabangsa seiring dengan pembukaan semula pintu sempadan." "The Fed Tingkat Kadar Faedah 0.25%\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (The Fed) meningkat kadar faedah kali pertama sejak tahun 2018. Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) mengumumkan bahawa bank pusat itu meningkatkan kadar faedah sebanyak 0.25% dan membayangkan kemungkinan akan ada enam peningkatan kadar untuk tahun ini.\nSehubungan itu, penganalisis melihat The Fed mungkin akan meningkatkan kadar faedah sehingga 2% menjelang akhir\u00a0 tahun 2022, bersamaan 0.25% bagi setiap mesyuarat FOMC. Pengerusi The Fed Jerome Powell menyatakan bahawa ekonomi AS kini kukuh untuk menerima peningkatan kadar faedah termasuk data pekerjaan, gaji dan inflasi.\nThe Fed dalam pengumuman sama menjangkakan inflasi akan terus meningkat namun kembali menyusut kepada 4.2% menjelang akhir tahun, jauh melepasi unjuran normal 2% yang dilakukan oleh bank pusat itu.\nSehubungan pengumuman itu, Wall Street menyaksikan rali dengan tiga indeks utama merekodkan peningkatan pada penutup Rabu. Pada masa yang sama, Powell menyatakan bahawa sukar untuk meramal kesan perang di Ukraine terhadap ekonomi negara itu namun sudah pasti menjejaskan harga komoditi dunia.\nPengumuman The Fed ini dijangka disusuli peningkatan faedah di negara lain di dunia, termasuk Malaysia. Penganalisis di Malaysia menjangkakan satu peningkatan kadar faedah akan berlaku akhir tahun ini sekali gus menjadikan kos pinjaman lebih mahal." "Pemegang Francais Marrybrown Jadi Graduan Serba Boleh\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSintok \u2013 \u201cIjazah bukan jaminan untuk mendapat kerja dan memiliki ilmu sahaja juga tidak cukup untuk meletakkan kita di tempat yang tinggi,\u201d kata pemegang francais restoran makanan segera, Marrybrown, Norharizan Hussain.\nBeliau yang merupakan graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan menyatakan bahawa untuk berjaya dan mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan, pencari kerja perlu memiliki kriteria seperti rajin berusaha untuk maju, disiplin, tidak malu bertanya, kuat fizikal dan mental, profesional, berintegriti, bijak komunikasi dan menganggap syarikat seperti milik sendiri.\nMenurutnya, semua graduan berharap untuk mendapat pekerjaan yang dapat menjamin masa hadapan namun dalam keadaan pandemik COVID-19 yang tidak menentu meletakkan mereka dalam situasi sukar untuk mendapat kerja. \u201cApa yang mereka boleh lakukan ialah bijak merebut peluang, tingkatkan kemahiran diri, kuasai pelbagai bahasa, mempunyai mentor, seimbangkan hidup dari segi sosial dengan masyarakat dan penuhi tuntutan agama, Insya-Allah rezeki akan datang.\u201c\n\u201cSelain itu, seawal berada di universiti juga pelajar sudah boleh berjinak-jinak dalam bidang perniagaan secara kecil-kecilan. Hari ini kita melihat perkembangan pesat ekonomi digital misalnya Food Panda, MauTapau, Loncat-Loncat dan Grab Food yang semakin diceburi anak muda,\u201c katanya yang menerima ijazah pada sesi kedua Majlis Konvokesyen Ke-33 UUM. Norharizan turut menambah sebagai majikan juga, beliau telah merancang pelbagai strategi dan program untuk melangkah lebih jauh dalam dunia keusahawanan termasuk melayan dan menyayangi semua pekerja seperti anak-anak sendiri.\nBercerita tentang permulaan menjalankan perniagaan, anak kelahiran Alor Setar itu berkata, beliau minat berniaga sejak usia muda lagi meskipun terpaksa menempuh pelbagai halangan dan rintangan. Menurutnya, beliau sanggup berhijrah ke Johor untuk mengikut latihan sebagai ahli pasukan sokongan Marrybrown, selain terlibat dengan pembukaan cawangan Marrybrown yang baharu.\nKecekalan beliau itu membolehkan Norharizan menjadi francaisi dengan memiliki dua cawangan Marrybrown di Souq Al-Bukhary dan Star Parade di Alor Setar yang diusahakan sejak 16 tahun lalu. Bagi melengkapkan lagi impiannya menjadi ahli perniagaan berilmu, beliau mengambil keputusan untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi lagi walaupun telah memiliki ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan pada usia 50 dan ijazah sarjana pada usia 52.\n\u201cKini saya sedang mengatur untuk mengambil ijazah Doktor Falsafah dan pada masa sama melakukan kerja komuniti sebagai pulangan kepada masyarakat. \u201cTerlalu banyak kenangan manis yang dikecapi sepanjang tempoh pengajian di UUM yang menuntut pengorbanan cukup tinggi untuk mendapat segulung ijazah.\u201c \u201cBanyak cabaran sebenarnya semasa belajar tetapi dengan berkat usaha tanpa mengenal erti penat, doa dan mendapat pensyarah yang berpengetahuan luas, saya dapat mengatasinya dengan pertolongan Allah yang memberi jalan keluar yang sungguh menakjubkan,\u201c katanya.\nBeliau telah menerima ijazah yang disampaikan oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah." "Majlis Pelancaran Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia 2022 dan Advokasi Kepenggunaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKajang \u2013 Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Sri Alaxander Nanta Linggi, telah merasmikan Majlis Pelancaram Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia 2022 dan Advokasi Kepenggunaan Melalui Medium Pengangkutan Awam pada 16 Mac 2022 di Stesen Mass Rapit Transit (MRT) Kajang.\nBerdasarkan Kajian Ideks Pendayaupayaan pengguna Malaysia yang dibuat pada tahun 2020, tahap pengetahuan pengguna Malaysia tentang hak-hak mereka sebagai pengguna dan jati diri untuk mempertahankan hak mereka masih terlalu sederhana iaitu 63.1%. Oleh itu, KPDNHEP menyeru semua pihak terutama Pertubuhan Bukan Kerajaan Pengguna, Persatuan Pengguna di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan masyarakat untuk merancakkan advokasi dan pendidikan berkenaan hak-hak pengguna serta saluran-saluran aduan dan tindakan bagi melindungi hak-hak mereka daripada tipu daya para peniaga yang tidak beretika serta penyedia perkhidmatan yang tidak bertanggungjawab.\nPihak KPDNHEP juga berharap teknik penyampaian advokasi diperlbagaikan bersesuaian dengan kecanggihan teknologi dan kehendak semasa agar ianya lebih berkesan seterusnya mampu meresap menjadi budaya kepenggunaan yang sihat dan mapan. Pada kali ini, KPDNHEP telah melaksanakan advokasi melalui medium baharu iaitu melalui pengangkutan awam. Pelaksanaan ini dibuat melalui kerjasama dengan penyedia pengangkutan awam, MRT. Perkhidmatan ini dipilih oleh pihak kementerian kerana\u00a0 mempunyai sebahagian besar pengguna khususnya di Lembah Klang sebagai medium pengangkutan harian dan merupakan pengangkutan awam masa depan yang menyerap elemen digitalisasi secara meluas.\nKerjasama ini dilihat mampu memberikan impak yang positif kerba capaian pengguna yang dimiliki oleh MRT denga purata 62 000 orang penumpang sehari yang mana para pengguna tersebut akan menghabiskan sebahagian masa mereka di dalam koc MRT untuk ke destinasi masing-masing pada setiap hari.\nSambutan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia 2022 pada tahun ini bertemakan Fair Digital Finance yang menjurus ke arah kesaksamaan kewangan digital. Berteraskan tema ini juga, Digitalisasi Pengguna telah dipilih sebagai tema sambutan Hari Pengguna Kebangsaan yang lebih menggambarkan senario perubahan trend pengguna Malaysia ke arah urus niada perkhidmatan dan pembelian menggunakan platform digital.\nTurut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hj, Hasnol Zam Zam Haji Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna) KPDNHEP, Datin Roszanina Wahab dan Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Tuan Azman Adam." "Airasia Ride Cadang Memperluas Perkhidmatan ke Thailand Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) serantau Airasia Ride, Lim Chiew Shan menyatakan bahawa Airasia Ride merancang untuk mengembangkan perkhidmatan e-panggilan ke\u00a0 negara Thai pada bulan depan. Beliau menambah syarikat itu akan bermula dengan Bangkok sebelum mengembangkan liputannya ke bandar lain di negara itu.\n\u201cKami bermula dengan 5000 buah teksi, selepas beberapa bulan, kami akan mendapatkan pemandu persendirian,\u201c katanya kepada media selepas pelancaran ciri pemandu komuniti. Airasia Ride ialah perkhidmatan e-panggilan oleh Airasia Super App di bawah Capital A Bhd.\nPerkhidmatan itu dilancarkan pada bulan Ogos 2021 dan mempunyai lebih daripada 30 000 orang pemandu setakat ini serta menyelesaikan 700 000 pemanduan di seluruh negara.\nKetua Pegawai eksekutif Airasia Super App, Amanda Woo menyatakan bahawa perkhidmatan itu memenuhi keperluan penumpang yang berbeza, bermula dengan menawarkan penumpang wanita pilihan untuk dipandu oleh pemandu wanita.\u201c Kami sentiasa berinovasi untuk menawarkan perkhidmatan yang lebih baik dan pengalaman yang diperibadikan untuk pengguna airasia Super App, dan kami yakin ciri pemandu komuniti, bermula dengan ciri LadiesONLY akan menarik minat pengguna Airasia Ride sedia ada dan menarik lebih banyak pengguna baharu.\u201c\nAmanda Woo turut menambah Airasia Ride buat pertama kalinya akan menaja\u00a0 pemandu wanita\u00a0 yang ingin menyertai perkhidmatan e-panggilan tanpa pengalaman, e-panggilan atau lesen e-panggilan dengan menawarkan faedah seperti pengecualian yuran untuk kursus dan peperiksaan pemanduan kenderaan perkhidmatan awam serta pemeriksaan perubatan percuma.\nSelain itu, para pemandu akan menerima 85% daripada tambang bersih lebih tinggi daripada perkhidmatan e-panggilan lain dalam pasaran, menjadikannya pilihan pekerjaan sambilan dan peluang menjana pendapatan sampingan yang berdaya maju. Pada masa ini, Airasia Ride mempunyai 500 orang pemandu wanita dan menyasarkan untuk mempunyai 5000 orang pemandu wanita pada tahun ini." "Bahasa tidak Statik!\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBahasa ialah fenomena budaya dan sosial yang berkembang seiring dengan peralihan masa dan kemajuan sesuatu masyarakat. Oleh itu, bahasa Melayu turut berubah dan berkembang selaras dengan perubahan kontemporari. Hal sedemikian berlaku untuk menjadikan bahasa Melayu sentiasa relevan dan berupaya mengungkapkan pelbagai fenomena dalam segala ranah kehidupan. Satu perkembangan menarik yang kita saksikan ialah bentuk kata dasar kata terbitan yang merupakan frasa yang dianggotai oleh kata bantu ragam boleh. Hal ini dapat menghasilkan pelbagai istilah terkini. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a.\u00a0 Kebolehpercayaan (reliability) ujian itu diragui.\n1b.\u00a0 Kajian kebolehlaksanaan (feasibility) projek telah dijalankan.\n1c.\u00a0 Kebolehjangkitan (infectilibity) virus itu sedang dikaji.\n1d.\u00a0 Kebolehpalsuan (possibility of being forged) wang harus dielakkan.\n1e.\u00a0 Kebolehdapatan (availability) maklumat kajian memang penting.\n1f.\u00a0 \u00a0Kebolehlarasan (adjustibility) mesin itu merupakan kelebihannya.\n1g.\u00a0 Kebolehpasaran (employability) siswazah amat penting.\nAda juga kata terbitan yang dihasilkan dengan kata dasar yang terdiri daripada frasa yang dianggotai oleh kata nafi tidak. Sila lihat contoh yang berikut:\n2a.\u00a0 Mereka membantah ketidakadilan (injustice) yang berlaku.\n2b.\u00a0 Berlaku ketidakakuran (non-compilance) dalam pengurusan akaun\nsyarikat itu.\nImbuhan teR- juga digunakan untuk menghasikan pelbagai istilah. Sila lihat contoh yang berikut:\n3a.\u00a0 Kita harus menggunakan air terawat (treated water).\n3b.\u00a0 Makanan terproses (processed food) kurang baik untuk kesihatan.\n3c.\u00a0 Mereka terkesan (impacted) oleh wabak COVID-19.\nUntuk mengungkapkan pelbagai perkara yang baharu, ada kalanya istilah baharu dicipta dengan menggunakan proses penggandaan separa pada kata nama. Sila lihat contoh yang berikut:\n4a.\u00a0 Berlaku pendarahan pada rerambut (capillaries) darahnya.\n4b.\u00a0 Jejari (spokes) roda itu berkarat.\n5a.\u00a0 Bebenang (threads) pada skru itu sudah haus.\n5b.\u00a0 Sesekat (valve) pada tayar kereta itu sudah rosak.\n6a.\u00a0 Pepijat (bugs) pada komputer harus kita hapuskan.\n6b. Dua tetingkap (windows) kelihatan pada skrin komputernya.\n7a.\u00a0 Dia membeli papan kekunci (keyboard) yang baharu.\n7b.\u00a0 Dia meletakkan kameranya di atas kekuda (stand).\nDalam kelompok ayat 4, kata dasar diulang dengan bunyi vokal [a] pada suku kata pertamanya dilemahkan bunyinya untuk menjadi e pepet dalam gandaannya. Dalam kelompok ayat 5, vokal e pepet pada suku kata pertama kata dasar dikekalkan dalam gandaannya. Dalam kelompok ayat 6, bunyi vokal [i] pada suku kata pertama kata dasar berubah menjadi bunyi e pepet dalam gandaannya. Dalam kelompok ayat 7 pula, bunyi [i] pada suku kata pertama kata dasar berubah menjadi e pepet dalam gandaannya.\nPenggunaan mekanisme kata ganda separa untuk menukarkan kata umum dalam penggunaan biasa kepada kata istilah khusus dalam bidang tertentu amat prolifik, dan contoh istilah sedemikian bertambah dari semasa ke semasa.\nSatu lagi mekanisme untuk menghasilkan istilah ialah pembentukan akronim. Akronim merupakan rangkaian dua kata atau lebih yang mungkin telah dipenggal sebahagian kata dasarnya sebelum digabungkan untuk menjadi perkataan yang baharu. Hal ini dikatakan demikian kerana akronim mempunyai vokal pembunyi yang membolehkannya disebut sebagai kata yang utuh. Sila lihat contoh yang berikut:\n8a.\u00a0 Asbut (smog) menjejaskan kesihatan penduduk bandar.\n8b.\u00a0 Pemindahan debunga (pollens) membolehkan tumbuhan bertambah\nbanyak.\n8c.\u00a0 Tanah di tebing sungai itu terhakis (eroded).\n8d.\u00a0 Markah purata (average) ujiannya ialah 68.\n8e.\u00a0 Jentolak (bulldozer) digunakan untuk menarah bukit itu.\nDalam ayat 8a, kata asbut ialah cantuman penggalan kata asap dan kabut. Dalam ayat 8b, kata debunga terbit daripada kata debu dan bunga. Dalam ayat 8c, kata hakis terbit daripada kata dasar habis dan kikis. Dalam ayat 8d, kata purata terbit daripada kata dasar pukul dan rata. Dalam ayat 8e pula, kata jentolak terbit daripada kata dasar jentera dan tolak.\nAda juga kata atau istiah baharu yang terhasil daripada terjemahan konsep baharu yang dibawa masuk bersama budaya asing ke negara kita. Sila lihat contoh yang berikut:\n9a.\u00a0 Dia melakukan fikir ujar (thinking aloud) untuk mencambahkan idea\nbaharu.\n9b.\u00a0 Tayar gerak kempis (run-flat tyre) itu masih berfungsi walaupun sudah\npancit.\n9c.\u00a0 Realiti maya (virtual reality) dan realiti tertambah (augmented reality)\nmerupakan perkembangan baharu.\n9d.\u00a0 Nama bintang filem itu diabadikan di Balai Kemasyhuran (Hall of Fame).\n9e.\u00a0 Kumpulan rentan (vulnerable groups) harus kita bantu.\nSesungguhnya istilah baharu yang dipinjam atau dipinjam terjemah daripada bahasa asing akan sentiasa bertambah dan terus membanjiri segala bidang ilmu pengkhususan. Hal ini menjadi ciri laras bahasa (register) yang tersendiri.\nPerubahan bahasa pada peringkat kata memang amat rancak dan dinamik, berbanding dengan perubahan dalam bidang sintaksis. Walau bagaimanapun, gaya bahasa yang lama juga mengalami sedikit banyak perubahan jika timbul keperluan. Sebagai contoh, sekarang kita kurang menggunakan ayat yang berbelit-belit panjang dengan bentuk seperti pun.-lah dan kata pangkal ayat yang lama seperti syahadan, kalakian dan sebermula. Sebaliknya, kita hanya menggunakan ayat majmuk yang panjang dan kompleks untuk mengungkapkan ilmu yang tinggi atau menjelaskan konsep yang rumit." "SME Bank Tingkat Faedah Kakitangan Bukan Eksekutif\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Seramai 153 kakitangan bukan eksekutif SME Bank bakal menerima manfaat apabila bank tersebut secara rasmi telah memperbaharui Perjanjian Kolektif (CA) dengan Kesatuan Sekerja Komersial Kebangsaan (NUCW) yang mewakili Kesatuan Sekerja SME Bank bagi tempoh Julai 2019 hingga Jun 2022.\nPresiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Dr Aria Putera Ismail menyatakan bahawa penambahbaikan yang dimasukkan di dalam CA termasuklah kenaikan gaji pokok, semakan semula faedah perubatan dan kemasukan ke hospital, skim bantuan pemilikan motosikal serta faedah bersalin. Rangka kerja ganjaran dan faedah bank yang baharu ini dilihat akan mengukuhkan budaya kerja berprestasi tinggi yang diamalkan oleh SME Bank.\u201c Selain itu, inisiatif ini akan membantu kakitangan terlibat menangani cabaran kenaikan kos sara hidup yang dihadapi sekarang.\u201d\nPerjanjian Kolektif SME Bank ini telah ditandatangani antara Aria Putera dan Ketua Perhubungan Perusahaan SME Bank, Muhammad Razif yang mewakili pengurusan SME Bank bersama Pengerusi AJK Dalaman NUCW SME Bank, Saipul Mat Ramli dan Yusli Abdul Rafat yang mewakili kakitangan SME Bank. Wakil \u00a0NUCW pula ialah Presiden, Muhammad Safizan Seman dan Setiausaha Agung, Jil Afril Jamaluddin.\nMajlis tersebut disaksikan Setiausaha Eksekutif NUCW, T.M. Rajeswaran dan Ketua Penyelesaian Prestasi & Keupayaan SME Bank, Muhammad Rashdan Kamaruddin. Sementara itu, Saipul Mat Ramli menyatakan bahawa pihaknya merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan bank kerana telah berjaya mengekalkan hubungan harmoni antara kedua-dua pihak. Tambah beliau, bank juga sentiasa memastikan kebajikan dan keperluan pekerja bukan eksekutif, dijaga dengan baik.\u201c Penambahbaikan CA ini akan menjadi pembakar semangat untuk kami terus memberi yang terbaik kepada SME Bank.\u201c\nSME Bank sejak tahun lalu, SME Bank\u00a0 turut menganjurkan \u2018Program Upward Mobility\u2019 membabitkan 50 kakitangan melalui kerjasama dengan Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) untuk meningkatkan kemahiran kakitangan bukan eksekutif. Selain itu, seramai 15 kakitangan \u2018Top Talents\u2019 daripada kategori eksekutif dan ke atas telah ditaja untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Universiti Utara Malaysia.\nSME Bank kini mempunyai 1064 orang kakitangan dan beroperasi melalui 26 buah cawangan di seluruh negara." "Ringgit Meningkat selepas Rizab Persekutuan AS Naikkan Kadar Faedah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Nilai ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS selepas Rizab Persekutuan menaikkan kadar faedah buat kali pertama sejak tahun 2018 dalam usaha untuk mengatasi inflasi. Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan diniagakan tinggi pada 4.1815/1860 berbanding dolar AS daripada 4.1965/1995 pada penutup hari Rabu.\nKetua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid menyatakan bahawa ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS telah memutuskan untuk menaikkan Kadar Dana Persekutuan sebanyak 25 mata asas, menjadikan kadar faedah penanda aras kepada 0.50%. Beliau menambah berdasarkan ramalan baru-baru ini, nampaknya kadar faedah akan terus dinaikkan sebanyak suku peratusan mata dalam setiap mesyuarat sepanjang tahun 2022.\n\u201cIni boleh menjadikan Kadar Dana Persekutuan kepada 2.00% menjelang akhir tahun ini. Pasaran telah pun mengambil kira langkah sedemikian dan oleh itu, pasaran ekuiti telah memberikan tindak balas secara positif.\u201c Hakikatnya, langkah monetari yang ketat seumpama itu adalah petunjuk bahawa aktiviti ekonomi semakin kukuh, dengan pasaran buruh menunjukkan daya tarikan yang baik.\u201c\nMohd Afzanizam menambah ringgit sepatutnya menunjukkan prestasi baik hari ini, bergerak dalam julat antara paras RM4.18-RM4.19. \u201cMalah, kadar dasar semalaman (OPR) sekiranya dinaikkan pada satu ketika pada masa hadapan boleh membantu mengukuhkan lagi nilai ringgit,\u201c katanya. Pasaran mata wang juga lega kerana tanda-tanda kemajuan dalam rundingan damai Ukraine-Rusia telah menaikkan sentimen dalam kalangan pelabur.\nSementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama. Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0798/0834 daripada 3.0823/0847 pada penutup Rabu dan lebih tinggi berbanding yen Jepun pada 3.5174/5215 daripada 3.5461/5487. Bagaimanapun, mata wang tempatan menyuusut nilai berbanding pound Britain kepada 5.5008/5067 daripada 5.4790/4829 dan rendah berbanding euro kepada 4.6197/6247 daripada 4.6111/6144 semalam." "Ericsson Malaysia Sambut Baik Keputusan Kerajaan dalam Pembangunan Rangkaian 5G\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Ericsson Malaysia Sdn Bhd menyambut baik keputusan kerajaan berhubung rangkaian 5G dan yakin memberi kepastian bagi membolehkan semua pihak terbabit dalam projek 5G Malaysia meneruskan usaha masing-masing dengan lebih jelas.\n\u201cKami kekal komited untuk menyampaikan pengalaman 5G bertaraf dunia selain merapatkan jurang digital menerusi kerjasama dengan Digital Nasional Bhd (DNB) serta ekosistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang lebih luas untuk rakyat Malaysia.\u201c\nKerajaan membuat keputusan untuk mengekalkan pelaksanaan rangkaian 5G secara Rangkaian Borong Tunggal (SWN) dan turut membuka ruang kepada syarikat telekomunikasi memegang sehingga 70% ekuiti dalam DNB. Kerajaan telah menganugerahkan kontrak bernilai RM11 bilion kepada Ericsson yang juga firma Sweden, bagi mereka bentuk dan membangunkan rangkaian telekomunikasi 5G Malaysia.\nDalam sidang media bersama semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menyatakan bahawa model SWN yang diterajui oleh DNB\u00c2\u00a0 berdasarkan \u201cpemulihan kos\u201c dan \u201cberpandukan penawaran\u201c dengan penyertaan ekuiti oleh syarikat telekomunikasi dan disifatkan sebagai penyelesaian terbaik bagi mempercepat pelaksanaan rangkaian 5G dengan objektif untuk menggalakkan rakyat menggunakan 5G.\nMenurut Tengku Zafrul, penyertaan syarikat telekomunikasi dalam DNB akan membolehkan mereka untuk turut sama terlibat dalam pelaksanaan rangkaian 5G negara." "Pulau Pangkor Dipilih sebagai Pelopor Pulau Peruncitan Tanpa Tunai Pertama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPulau Pangkor \u2013 Dalam usaha untuk terus merancakkan digitalisasi perniagaan di Malaysia, Majlis Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) telah berlangsung di Pulau Pangkor, Perak pada 19 Mac 2022. Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato\u2019 Sri Alaxander Nanta Linggi.\nProgram ini merupakan kesinambungan usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama kerajaan negeri, Bank Negara Malaysia (BNM) dan rakan strategik daripada penyedia e-dompet, iaitu Maybank, Touch n Go, GrabPay, Paynett, Boost, dan ShopeePay bagi menggalakkan pemain industri sektor peruncitan seiringan dengan perkembangan digitalisasi, terutamanya berkaitan dengan teknologi transaksi pembayaran secara digital serta memastikan setiap transaksi dilaksanakan dalam keadaan selamat sama ada daripada segi kesihatan (kebiasaan baharu) dan proses kewangan.\nMajlis yang berlangsung juga merupakan sebahagian daripada rangka kerja ReDI yang akan dilaksanakan di seluruh negara. Tumpuan utama pihka KPDNHEP pada masa ini ialah keperluan para peniaga pada peringkat mikro dan kecil teruatamanya di kawasan luar bandar supaya mereka mampu mengadaptasi gelombang digitalisasi serta mengguna pakai e-wallet. Untuk rekod, sejumlah 3347 orang peniaga telah mengadaptasikan program ReDI hingga 15 Mac 2022.\nDalam ucapan perasmian beliau, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato\u2019 Sri Alaxander Nanta Linggi menyatakan setakat ini sebanyak 61% daripada 741 orang peniaga di Pulau Pangkor\u00a0 berdaftar di bawah program tersebut. Tambahnya lagi, jumlah tersebut merupakan satu perkembangan yang baik dalam usaha pihaknya menjayakan insiatif digitalisasi transaksi secara tanpa tunai.\nKPDNHEP menerusi Sekretariat Pedagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) juga sedang melaksanakan satu program insentif baru untuk menggalakkkan pengguna berbelanja tanpa tunai dalam usaha menjadikan Pangkor sebagai Pulau Digital Tanpa Tunai. Program Insentif Norma Baharu 2022 ini akan melibatkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM10 000, iaitu pemberian RM20.00 kepada 500 orang pengguna yang boleh ditebus menggunakan aplikasi e-dompet terpilih." "Pangkor Pulau Digital Bebas Tunai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPulau Pangkor, Perak\u00a0 \u2013 Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna\u00a0 menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Inisiative \u2013 ReDI) di Pulau Pangkor, Perak.\nPelancaran ReDI di negeri Perak merupakan kesinambungan usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama-sama Kerajaan Negeri, Bank Negara Malaysia (BNM) dan rakan strategik daripada penyedia e- dompet, iaitu Maybank, Touch n Go, GrabPay, Paynett, Boost dan ShopeePay bagi menggalakkan pemain industri sektor peruncitan sentiasa seiringan dengan perkembangan digitalisasi, terutamanya teknologi transaksi pembayaran secara digital serta memastikan setiap transaksi dilaksanakan dalam keadaan selamat sama ada dari segi kesihatan (kebiasaaan baharu) dan proses kewangannya.\nInisiatif ReDI juga mendokong kerangka pelaksanaan MyDIGITAL, Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan Pelan PelaksanaanDasar (PPD) RMK-12 negara bagi sektor peruncitan dalam membantu peniaga melonjakkan semula ekonomi pascapandemik COVID-19 ini.\nMajlis Pelancaran ini adalah sebahagian daripada rangka kerja ReDI yang akan dilaksanakan di seluruh negara. Tumpuan utama Kementerian ketika ini adalah keperluan bagi peniaga pada peringkat mikro dan kecil supaya mengadaptasikan gelombang digitalisasi serta mengguna pakai e-dompet,terutamanya di kawasan luar bandar.\nSejak awal lagi Kementerian berpandangan bahawa semua peniaga, termasuklah peniaga mikro dan kecil perlu dibantu dalam dunia digitalisasi perniagaan sekurang-kurangnya melalui penggunaan e-wallet dan e-dagang bagi memastikan golongan ini tidak tercicir dalam arus perdana model baharu perniagaan secara digital. Sejumlah 3347 orang peniaga\u00a0 mengadaptasikan program ReDI hingga 15 Mac 2022.\nSelain pelancaran ReDI pada hari ini, pihak ShopeePay juga berbesar hati menyumbangkan sebanyak 100 unit peralatan perniagaan (Payung Niaga) kepada peniaga kecil yang dikenal pasti\u00a0 di sekitar Pangkor bagi melindungi daripada cuaca hujan dan panas. ReDi merupakan\u00a0 pemangkin kepada peniaga mikro dan kecil memulakan atau mengembangkan perniagaan.\nSelain itu, bagi menyokong pelaksanaan program ReDI di Pangkor ini, Kementerian menerusi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) sedang melaksanakan satu program insentif baharu untuk menggalakkan pengguna berbelanja tanpa tunai dalam usaha menjadikan Pangkor sebagai Pulau Digital Tanpa Tunai.\nProgram Insentif Norma Baharu 2022 ini akan melibatkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM10 000.00. Pemberian sebanyak RM20.00 kepada 500 orang pengguna boleh ditebus menggunakan aplikasi e-dompet terpilih.\nPada masa yang sama, Kementerian juga meneruskan perluasan Kempen Pembudayaan Norma Baharu COVID-19 Sektor Peruncitan di Jeti Pulau Pangkor. Satu daripada langkah yang akan digunakan dalam kempen ini adalah melalui pemasangan Sistem Ulang Siar Digital. Sistem ini merupakansatu strategi bagi memudahkan semua pihak menerima maklumat dengan pantas dan mudah.\nKementerian mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) yang memberikan kerjasama dan sokongan yang sangat baik dalam menjayakan inisiatif ini.\nUntuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian penting 03-8882 5881/5905 atau melalui e-mel kepada [email\u00a0protected]" "Kegembiraan Berganda Graduan UUM Menembusi Pasaran Kerja\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSintok \u2013 Dua orang graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Nawee Sukkanja a/p Fan, 27 tahun dan Nur Diyana Mastura Mohd Zul, 27 tahun, berkongsi cerita dunia baharu yang ditempuhi oleh mereka yang penuh warna-warni.\nNur Diyana Mastura mengakui menimba pengalaman berharga sebagai pengurus restoran\u00a0 Burger King. \u201cSejujurnya saya tidak merancang untuk bekerja dalam bidang F&B kerana tujuan bekerja ketika itu adalah untuk mengisi masa terluang sementara menunggu panggilan kerja daripada mana mana syarikat. Saya bermula hanya sebagai petugas (crew), belajar dari \u2018station counter\u2019 kemudian \u2018board station\u2019.\u201d Nur Diyana Mastura ditawarkan jawatan penolong pengurus selepas tiga bulan bekerja disebabkan dirinya ialah pekerja seorang yang cepat belajar, komited dan tekun bekerja.\n\u201cTanpa berfikir panjang, saya terima peluang keemasan dan kepercayaan yang diberikan, inilah masanya untuk saya menunjukkan kebolehan dalam bidang pengurusan walaupun masih baharu dalam bidang itu. \u201cSelepas dipromosi sebagai penolong pengurus, saya ditukarkan ke cawangan lain setiap empat bulan dan saya dapat mempelajari banyak perkara sepanjang tempoh itu.\u201d Beliau mendapati bahawa bidang F&B tidaklah sukar\u00a0 kerana telah mendapat pendidikan di UUM. \u201cJadi mudahlah kerja saya kerana banyak yang dapat diaplikasikan daripada kelas tersebut termasuk aduan, maklum balas, dan cara untuk menghadapi pelanggan. Semuanya kita dapat kaitkan apabila berhadapan dengan situasi sebenar. Jika di dalam kelas kita hanya belajar teori dan asas tetapi realitinya jauh berbeza dengan apa-apa yang kita belajar,\u201d ujarnya.\nImpian Nawee Sukkanja adalah menjadi pensyarah dan impian itu menjadi kenyataan apabila beliau mendapat pekerjaan sebagai pensyarah Pengurusan Perniagaan di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur. \u201cSaya baru sahaja mendapat kerja sebagai pensyarah dan tugasan ini mempunyai cabaran tersendiri, tambahan pula kini sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) harus dilaksanakan secara dalam talian disebabkan pandemik COVID-19,\u201d ujar gadis manis berketurunan Siam yang berasal dari Perlis ini.\nSemuanya bermula ketika beliau melihat situasi pandemik COVID-19 yang telah mencetus idea untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana sebaik-baik sahaja tamat pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan pada tahun 2020. \u201cSudah tentunya antara sebab melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi kerana saya ingin mengejar cita-cita saya untuk bergelar seorang pensyarah di samping memenuhi impian ibu ayah tercinta.\u201d\nJelasnya, pensyarah pada hari ini harus menjadi lebih kreatif dalam melaksanakan kelas secara dalam talian dan sentiasa memastikan para pelajar memperoleh ilmu yang ingin disampaikan dengan baik. \u201cSudah pasti suasana alam pekerjaan agak berbeza dengan zaman belajar tetapi saya rasa bersyukur kerana aktif melibatkan diri dalam organisasi sejak di universiti lagi dan tidak kekok dalam mengaplikasikan segala pengalaman dan ilmu yang telah diperolehi sebelum ini di tempat kerja dengan baik dan juga teratur,\u201d kongsi anak keempat dari lima beradik.\nJelasnya, UUM membentuk mahasiswa holistik yang cemerlang bukan hanya dalam bidang akademik tetapi juga kokurikulum sekali gus melahirkan banyak graduan cemerlang, versatil dari aspek kepimpinan, keusahawanan dan digital. \u201cSaya bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum kerana melalui aktiviti ini saya dapat pengalaman dan ilmu berkaitan dengan pengurusan organisasi, pengurusan masa, komunikasi, pengalaman dalam bidang keusahawanan yang dapat menjalankan aktiviti perniagaan di dalam kampus dan bekerja secara berkumpulan,\u201d katanya.\nMenurutnya, antara petua belajar yang diamalkannya adalah sentiasa berhubung dan bertanya dengan pensyarah bagi memastikan segala tugasan dapat disiapkan dengan baik. Belajar berkumpulan juga merupakan salah satu kaedah yang baik kerana dapat mengatasi rasa bosan dan bertukar idea serta nota dengan rakan-rakan." "Majlis Perasmian Titian Nelayan dan Program Jelajah Nelayan Beluran\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBeluran \u2013\u00a0 Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, turun padang hari ini bagi menjayakan Program Jelajah Nelayan Beluran dan merasmikan titian nelayan di Kampung Keniogan, Beluran. Turut hadir dalam program jelajah ini, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Labuk, Yang Berhormat Tuan Samad bin Jambri; Setiausaha Bahagian Industri Tanaman Ternakan dan Perikanan (ITTP), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI),\u00a0 Mazlan\u00a0 Othman; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),\u00a0 Kusuadi Sallih; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) LKIM,\u00a0 Khaironnesak Omar; Pengarah LKIM Sabah, Mohd Jamil Abdullah; Penolong Pegawai Daerah Beluran, Tuan Leprus Esuvas Giswa, dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Beluran,\u00a0 Uting Rahmat.\nDalam program ini, Dr. Ronald merasmikan titian nelayan yang telah siap pada 13 Mac 2022 yang mana projek ini telah bermula pada 4 Mei 2021 dengan kos keseluruhan bernilai RM 1 juta. Dr. Ronald berkata projek titian konkrit ini akan memberikan lebih keselesaan kepada semua penduduk di Kampung Keniogan, khususnya golongan nelayan memandangkan keadaan titian yang lama telah usang dan tidak lagi sesuai untuk digunakan. \u201cMAFI akan terus melihat keperluan kemudahan asas dan infrastruktur lain yang diperlukan oleh kampung-kampung nelayan seluruh negara dan akan angkat kepada perhatian Kementerian Kewangan untuk permohonan dana tambahan bagi memastikan semua inisiatif yang dilaksanakan oleh LKIM diteruskan. \u201cKerajaan melalui LKIM sentiasa memainkan peranan yang penting dan berkesan dalam menjaga kebajikan serta terus memperbaiki kedudukan sosioekonomi dan mengurangkan bebanan nelayan,\u201d kata Dr. Ronald.\nSelain itu, bagi membangunkan infrastruktur jeti sedia ada, tiga lokasi lain juga telah dibaik pulih sebelum ini iaitu di Jeti Kampung Muanad II, Jeti Kampung Seri Menanti dan Jeti Kampung Keramat. 18 buah lagi jeti dan titian di sekitar kampung-kampung nelayan di Beluran sedang dalam dua perancangan LKIM untuk dibaik pulih, dinaik taraf serta bina baharu yang akan memberi kemudahan pendaratan ikan yang lebih baik.\nKerajaan sentiasa menyediakan peruntukan bagi membangunkan pelbagai kemudahan dan inisiatif untuk nelayan termasuk kemudahan infrastruktur seperti pelabuhan perikanan, kompleks pendaratan ikan, jeti-jeti dan lain-lain lagi di seluruh negara. Setakat ini, LKIM telah membina sebanyak 46 buah kompleks pendaratan ikan. Kemudahan seumpama ini banyak membantu nelayan mendaratkan dan memasarkan hasil tangkapan ikan.\nDi Sabah, LKIM dalam kajian kesesuaian tapak untuk membina sebuah kompleks pendaratan ikan moden di tapak tanah LKIM di Sandakan. Dalam pada itu, YB Menteri turut meninjau rumah nelayan di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) di Kampung Keniogan, Beluran. Ini adalah sebahagian daripada 200 buah rumah nelayan yang telah dan sedang dibaik pulih oleh LKIM di kawasan Beluran dengan peruntukan sebanyak RM3 juta. Sebelum ini, LKIM juga telah membaik pulih 152 buah rumah nelayan di kawasan Beluran.\nProjek PKPN merupakan usaha Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah dengan membaik pulih rumah, membina rumah baharu dan mewujudkan penempatan semula nelayan supaya golongan nelayan menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan selesa. Kerajaan melalui LKIM telah memperuntukkan lebih RM150 juta pada tahun ini bagi menyediakan bantuan dan insentif kepada masyarakat nelayan seluruh negara yang merangkumi ESHN, Subsidi Minyak Diesel dan Petrol, Dana Nelayan, Tabung Bencana dan Kebajikan Nelayan, Projek Tanaman Kotan, Bantuan Projek Ekonomi Kumpulan Nelayan, dan Program Food Basket Nelayan. Terdapat 582 orang nelayan aktif di Kawasan berkenaan telah menerima Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) dengan kadar bayaran RM300.00 sebulan.\nESHN ini ditingkatkan oleh kerajaan bermula bulan Januari 2021, dengan kadar RM250.00 kepada RM300.00 sebulan\u00a0 memberikan manfaat kepada 35 000 orang nelayan laut seluruh negara. Menurut Dr. Ronald, golongan nelayan merupakan antara barisan hadapan sektor agromakanan yang sangat penting dalam memastikan kelangsungan bekalan makanan negara. Tambah beliau lagi, \u201cKerajaan melalui MAFI dan LKIM akan terus memastikan kebajikan semua golongan sasar sentiasa terbela serta memastikan kelangsungan dan kelancaran rantaian bekalan makanan.\u201c\nDalam majlis yang sama, Dr Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran turut menyampaikan Bantuan Persekolahan kepada 130 orang murid SK Keniogan yang\u00a0 disumbangkan oleh Yayasan Nelayan Malaysia (YANEM) dengan peruntukan sebanyak RM6500.00. MAFI melalui agensinya, LKIM telah dan akan sentiasa memainkan peranan yang penting dan berkesan sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kebajikan, memperbaiki kedudukan sosioekonomi nelayan dengan menumpukan peningkatan pendapatan dan memajukan perusahaan perikanan negara serta memastikan bekalan ikan mencukupi di seluruh negara." "Peruntukan RM1 Bilion untuk Pulih dan Tambah Pendapatan Peneroka Felda\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTanah Merah \u2013 Kerajaan memperuntukkan\u00a0 RM1 bilion dalam usaha memulihkan Felda dan menambah pendapatan peneroka di seluruh negara. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato\u2019 Seri Mustapa Mohamed menyatakan bahawa usaha pemulihan Felda melalui Program Pembangunan Peneroka (PPP) antara cadangan dalam Kertas Putih Felda seperti yang dibentangkan di Parlimen pada tahun 2019.\n\u201cKertas Putih ini antara lainnya untuk merangka beberapa strategi memulihkan Felda kerana Felda menghadapi masalah. \u201cSalah satu strategi adalah untuk menambah pendapatan peneroka. Kertas ini juga telah memperincikan beberapa tindakan antaranya Program Pembangunan Peneroka atau PPP yang menyatakan sejumlah RM1 bilion akan diagihkan kepada semua peneroka di seluruh negara.\u201c Mustapa menjelaskan peruntukkan RM1 bilion itu membabitkan projek sektor pertanian, penternakkan dan akuakultur.\nPihak kerajaan mula mengagihkan geran peruntukkan pada tahun 2020 melibatkan RM174 juta yang diluluskan kepada semua peneroka di seluruh negara yang\u00a0melibatkan RM108 juta untuk penternakan, RM51 juta untuk pertanian manakala RM10 juta lagi untuk sektor akuakultur.\nProgram Pembangunan Peneroka (PPP) telah memberi manafaat kepada 55 ribu peneroka Felda di 317 tanah rancangan seluruh negara. Program tersebut melibatkan penyertaan peneroka samada melalui penglibatan secara plasma (individu) atau melalui koperasi. Sehingga kini, kerajaan telah meluluskan sebanyak 7225 Projek PPP Felda di seluruh negara.\nMustapa berkata demikian selepas meninjau projek ternakan arnab terbesar di Felda Kemahang, salah satu projek yang dilaksanakan melalui kaedah koperasi di Felda Kemahang Satu petang semalam. Kerajaan meluluskan geran berjumlah RM456 000 untuk projek ternakan arnab dengan penglibatan seramai 455 peneroka dari wilayah Gua Musang. Projek ternakan arnab itu bermula pada 1 Jun 2021 dengan hasil jualan dikongsikan bersama peneroka yang terlibat.\nDalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) telah menjalinkan kerjasama dengan Mydin Wholesales bagi memasarkan produk keluaran peneroka Felda. Beliau menjelaskan bahawa penguasaan Felda ke atas FGV dapat memperkukuhkan lagi Program Pembangunan Peneroka Felda dan dapat menterjemahkan hasrat Felda untuk menjadi hub pengeluaran makanan negara." "Trend Perdagangan Malaysia Terus Meningkat pada Februari 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Perdagangan Malaysia meneruskan trajektori meningkat pada Februari 2022 dengan mencatatkan pertumbuhan dua digit bagi perdagangan, eksport, import dan lebihan perdagangan, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato\u2019 Seri Mohamed Azmin Ali. Beliau menyatakan bahawa perdagangan meningkat sebanyak 17.5% kepada RM184.75 bilion berbanding Februari 2021, menandakan pertumbuhan dua digit bagi 13 bulan berturut-turut.\nMenurutnya, eksport melepasi paras RM100 bilion meningkat sebanyak 16.8% kepada RM102.27 bilion, pertumbuhan dua digit bagi tujuh bulan berturut-turut manakala import berkembang 18.4% kepada RM82.48 bilion dan lebihan perdagangan tumbuh 10.7% kepada RM19.79 bilion. \u201cEksport ke pasaran utama, terutamanya ASEAN, China, Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun, merekodkan pertumbuhan dua digit,\u201c katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).\nBeliau turut menambah bahawa perdagangan, eksport dan import bulan ke bulan masing-masing susut sebanyak 9.2%, 7.9% dan 10.8%, berikutan hari bekerja yang singkat dan musim perayaan pada bulan Februari, manakala lebihan perdagangan meningkat sebanyak 6.6%. Bagi tempoh dua bulan pertama 2022, perdagangan, eksport dan import mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak tahun 2010. Perdagangan melonjak sebanyak 21.4% tahun ke tahun kepada RM388.33 bilion; dengan eksport naik 20.4% tahun ke tahun kepada RM213.34 bilion, import meningkat 22.6% tahun ke tahun kepada RM174.99 bilion dan lebihan perdagangan menokok 11.2% tahun ke tahun kepada RM38.35 bilion.\nProduk elektrik dan elektronik menyumbang 38.8% daripada jumlah eksport iaitu sebanyak RM39.65 bilion, meningkat 25.8% tahun ke tahun daripada Februari 2021, manakala eksport produk petroleum naik 9.6% tahun ke tahun kepada RM7.32 bilion, menyumbang 7.2% daripada jumlah eksport. Sementara itu, kimia dan produk kimia berkembang sebanyak 28.2% tahun ke tahun kepada RM6.64 bilion, menyumbang 6.5% daripada jumlah eksport. Minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit melonjak sebanyak 58.9% tahun ke tahun kepada RM6.26 bilion atau 6.1% daripada jumlah eksport dan pembuatan logam meningkat 31.8% tahun ke tahun kepada RM4.95 bilion atau 4.8% daripada jumlah eksport.\n\u201cPada Februari 2022, perdagangan dengan ASEAN menyumbang 27.6% daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat sebanyak 24.6% tahun ke tahun kepada RM51.03 bilion.\u201c\u00c2\u00a0Semasa bulan tersebut, perdagangan dengan China, yang mewakili 17.4% daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat sebanyak 11.9% tahun ke tahun kepada RM32.18 bilion.\nBeliau menambah perdagangan dengan EU yang menyumbang 8.1% daripada jumlah perdagangan Malaysia pada Februari 2022, berkembang sebanyak 17.8% tahun ke tahun kepada RM15.03 bilion. \u201cImport dari EU meningkat 16.9% tahun ke tahun kepada RM5.86 bilion.\u201c" "Moody\u2019s Investors Service Sahkan Penarafan A3 TNB dengan Prospek Stabil\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Moody\u2019s Investors Service mengesahkan penarafan bon tidak bercagar senior A3 Tenaga Nasional Bhd (TNB) dengan prospek stabil. Moody\u2019s juga mengesahkan Penilaian Kredit Garis Asas (BCA) TNB pada baa2.\nPengesahan itu berikutan tarif terkawal terbaharu TNB untuk tempoh kawal selia ketiga (RCP3) yang berakhir pada Disember 2024 yang akan menyokong pengekalan metrik kewangannya pada tahap yang konsisten dengan baa2 BCA. \u201cBaa2 BCA TNB itu menempatkan kedudukan pasarannya yang kukuh dan profil kewangan yang sederhana serta rangka kerja kawal selia yang menyokong tetapi masih baharu tempat ia beroperasi.\u201d\nMoody\u2019s menjangkakan TNB akan mengekalkan kewangan yang sederhana seperti yang diukur oleh aliran tunai atau hutang, sekitar 13% semasa RCP3 berdasarkan tarif asas terkawal sebanyak 39.95 sen setiap kilowatt jam dan elaun perbelanjaan modal yang diluluskan sebanyak RM20.55 bilion untuk perniagaan dikawal selia. \u201cTNB menunjukkan pendapatan yang stabil sepanjang tempoh pandemik, mendapat manfaat daripada rangka kerja pengawalseliaan yang menyokong direka untuk melindungi hasilnya daripada kemerosotan dalam permintaan tenaga.\u201c\nSelain itu, Moody\u2019s menyatakan bahawa pihaknya memahami bahawa pendapatan daripada perniagaan penjanaan tidak dikawal selia TNB kebanyakannya datang dalam bentuk pembayaran kapasiti, bebas daripada penyampaian tenaga sebenar atau harga bahan api. \u201cTinjauan penarafan yang stabil mencerminkan operasi dan aliran tunai TNB yang boleh dijangka, disokong oleh rejim kawal selia yang menyokong direka untuk melindungi syarikat daripada ketidaktentuan dalam permintaan volum atau kos bahan api.\u201d" "Kata Sendi Nama \u201cantara\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Memahami Istilah Hartal\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerkataan \u201chartal\u201d menjadi perbualan dan tanda tanya orang awam apabila digunakan dalam Gerakan Hartal Doktor Kontrak pada 26 Julai 2021 oleh sekumpulan doktor kontrak di beberapa hospital di seluruh Malaysia. Gerakan ini merupakan kesepakatan yang dicapai dan dipersetujui oleh para doktor kontrak yang berkaitan dengan beberapa tuntutan, iaitu jaminan pelantikan tetap bagi doktor kontrak dan baharu, hak, gaji serta kebajikan sama rata seperti doktor tetap, termasuklah cuti dan faedah. Sebanyak 25 hospital telah dicadangkan untuk mengadakan hartal ini yang bertempat di pusat kesihatan di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia di seluruh negara.\nJika dilihat dalam Kamus Dewan Perdana (2020), terungkap perkataan hartal yang terdiri daripada dua makna, iaitu makna pertama membawa maksud bedak air berwarna kuning, dibuat daripada campuran beras, kunyit, cekur dan bunga-bungaan, disapukan pada bahagian tertentu badan dan dianggap dapat menghilangkan bala, meredakan sawan dan sebagainya. Makna yang kedua pula merujuk tindakan tidak bekerja atau tidak berniaga secara beramai-ramai pada hari yang telah ditentukan, bertujuan untuk menyuarakan rasa tidak puas hati, marah dan sebagainya kepada kerajaan atau majikan; mogok.\nHartal ialah perkataan daripada istilah yang mengalami serapan daripada bahasa Gujarat: \u0ab9\u0aa1\u0aa4\u0abe\u0ab3\u00a0ha\u1e0dt\u0101\u1e37\u00a0atau\u00a0\u0ab9\u0aa1\u0aa4\u0abe\u0ab2\u00a0ha\u1e0dt\u0101l) yang merujuk tindakan menunjuk perasaan secara beramai-ramai, kebiasaannya membabitkan mogok dan penutupan tempat kerja. Bahasa Gujarat ialah turunan daripada gabungan bahasa Sanskrit \u0939\u091f\u094d\u091f\u00a0ha\u1e6d\u1e6da\u00a0\u201cpasar\u201c dan \u0924\u093e\u0932\u00a0t\u0101la\u00a0\u201ckunci mangga\u201d, termasuklah pejabat, kedai dan mahkamah sebagai satu bentuk keingkaran awam bagi tujuan menarik perhatian pemerintah terhadap rasa keengganan rakyat yang berkaitan dengan suatu dasar atau pendirian (Factotum, 2005).\nOleh itu, tidak mustahil untuk kata ha\u1e0dt\u0101l yang terlebih dahulu wujud dan digunakan dalam bahasa Gujarat sebelum kata hartal dan kemasukan kata ha\u1e0dt\u0101\u1e37 itu terus daripada bahasa Gujarat. Hal ini jelas menunjukkan pertembungan antara dua masyarakat yang berbeza yang sudah tentu akan mempengaruhi sistem bahasa sesebuah masyarakat.\nMenurut David M. (2014) pula, penggunaan istilah hartal ini pernah diketengahkan oleh tokoh kemerdekaan India, iaitu Mahatma Gandhi rentetan daripada tindakan menunjuk perasaan yang dilakukan warga setempat terhadap pihak British dan raja-raja kecil naungan terhadap dasar-dasar yang dilihat menghimpit rakyat termasuklah hal-hal percukaian. Kefahaman ini juga turut tersebar luas ke India, Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka.\nSelepas Perang Dunia Kedua, idea dan istilah ini mula mengetuk minda pengguna rantau Nusantara, khususnya di Tanah Melayu dengan Gerakan mengingkari pemerintah British yang berlarutan di antara tahun 1940-an hingga tahun 1960-an. Pemogokan yang paling dikenali ketika ini ialah Hartal Tanah Melayu 1947, iaitu gerakan bagi membantah usulan perlembagaan yang dicadangkan oleh penjajah British serta Hartal Pulau Pinang 1967, yang berlaku hasil tindak balas terhadap kejatuhan nilai dolar Malaya dengan beralihnya kepada mata wang ringgit Malaysia yang diperkenalkan ketika itu (David M., 2014).\nSesungguhnya, setiap perkataan di dunia ini memiliki sejarah asal usul tersendiri. Begitu juga dengan perkataan yang lahir daripada setiap bahasa yang digunakan dan dituturkan oleh setiap manusia yang juga mempunyai asal usulnya dalam menggambarkan budaya masyarakat tersebut. Hal ini juga berlaku terhadap idea kelahiran perkataan hartal yang wujud di Malaysia. Oleh itu, tidak hairanlah jika dikatakan bahawa istilah hartal ini berasal dari India dan berkembang ke negara Eropah dan seterusnya dibawa ke Alam Melayu." "Pengeluaran RM10 000 KWSP Beri Impak Pelaburan Jangka Pendek\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pengeluaran khas RM10 000 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bakal memberi kesan jangka masa pendek kepada kemampuan pelaburan institusi tersebut. Timbalan Menteri Kewangan, Dato\u2019 Indera Shahar Abdullah menyatakan bahawa KWSP akan mengimbangi portfolio bagi mengatasi kesan prestasi pelaburannya.\nBeliau menambah bahawa KWSP juga akan memastikan dana persaraan seramai 6.3 juta ahlinya terjamin.\n\u201cKeputusan kerajaan untuk membenarkan pengeluaran RM10 000 secara one-off akan memanfaatkan seramai 6.3 juta ahli. \u201cIni bermakna sebanyak RM63 bilion akan disalurkan dan sudah pasti kuasa membeli rakyat akan meningkat serta akan memberi kesan langsung kepada ekonomi negara.\u201c Bagaimanapun penyediaan nilai pengeluaran berjumlah RM63 bilion akan memberi kesan terhadap kemampuan pelaburan KWSP dalam jangka masa pendek.\u201c Namun demikian, KWSP akan mengimbangi semula portfolio bagi mengurangkan kesan kepada prestasi pelaburan dan KWSP sentiasa komited untuk memastikan dana persaraan ahlinya terjamin,\u201c katanya di Dewan Rakyat hari ini.\nBeliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) mengenai kesan pengeluaran khas KWSP yang diumumkan kerajaan baru-baru ini." "Pengeluaran Gas Medan Minyak Pegaga Sudah Bermula\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Petronas mengumumkan bahawa medan minyak Pegaga di Blok SK320, di luar pantai Sarawak\u00a0 telah memulakan pengeluaran gas pertama ke dalam Kompleks LNG Petronas di Bintulu. Blok SK320 dikendalikan oleh Mubadala Development Company Oil and Gas Limited (Mubadala Petroleum) dengan 55% kepentingan, manakala rakan kongsi terdiri daripada Petronas Carigali Sdn Bhd sebanyak 25% dan Sarawak Shell Berhad pula 20%.\nKemudahan pengeluaran yang terdiri daripada platform pemprosesan pusat bersepadu dan platform penggerudian telaga direka untuk menghasilkan 550 MMscfd gas yang dialihkan melalui saluran paip dasar laut yang disambung ke rangkaian saluran paip gas luar pesisir sedia ada.\nNaib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia Petronas, Mohamed Firouz Asnan menyatakan bahawa Petronas mengucapkan tahniah kepada Mubadala Petroleum dan rakan kongsi mereka dalam mencapai pencapaian penting ini memandangkan bidang Pegaga berada pada kedudukan yang baik untuk menyumbang dengan ketara ke arah mengekalkan bekalan gas Malaysia untuk beberapa dekad yang akan datang.\n\u201cProjek itu yang dilaksanakan menerusi keputusan pelaburan terakhir semasa pasaran minyak masih hendak pulih pada tahun 2018 menunjukkan keyakinan pelabur terhadap industri huluan Malaysia.\u201c\n\u201cEkosistem negara juga membuktikan daya tahannya dengan reka bentuk yang berjaya dan fabrikasi kemudahan yang disiapkan semasa kemuncak pandemik COVID-19,\u201d tambahnya.\nPetronas meneruskan Wawasan Huluan 2030 untuk meningkatkan tahap pengeluaran Malaysia kepada dua juta boepd daripada paras semasanya kira-kira 1.8 juta boepd melalui pembangunan pelbagai peluang yang sedang dalam perancangan di luar medan minyak Pegaga." "Gangguan Bekalan Berpotensi Berlaku dari Rusia dan Ukraine Beri Impak Rendah kepada APAC\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Moody\u2019s Analytics melihat sedikit pendedahan secara langsung kepada potensi kehilangan import dari Rusia atau Ukraine di rantau Asia-Pasifik (APAC) kecuali satu-satunya import penting iaitu import minyak dan arang batu ke China dan penghantaran khusus seperti baja ke Indonesia dan Malaysia. Risiko utama bagi APAC ialah perlu membayar harga global yang lebih tinggi untuk semua komoditi.\n\u201cRantau Asia Pasifik sebahagian besarnya tidak terkesan daripada inflasi yang cepat berlaku kini di Eropah dan Amerika Utara, \u201c kata firma penyelidikan itu dalam laporan analisis bertajuk \u201cAPAC\u2019s Small Direct Exposure to Russian Trade Won\u2019t Hold Back Rising Inflation.\u201c \u201cTetapi menjelang suku kedua tahun ini, harga komoditi global yang tinggi dijangka berlaku terhadap harga pengeluar dan pengguna di seluruh rantau ini.\u201c\nMoody\u2019s Analytics menyatakan bahawa Australia, Malaysia dan Indonesia ialah pengeksport bersih komoditi berasaskan tenaga dan termasuk minyak mentah, petroleum, gas asli, dalam bentuk gas lain dan arang batu dalam rantau Asia Pasifik.\nLain-lain negara utama di rantau APAC ialah pengimport bersih komoditi tenaga, kurang daripada 2% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk New Zealand dan sehingga hampir 8% KDNK untuk Singapura. \u201cNamun, import bersih dari Rusia dan Ukraine melibatkan bahagian kecil berjumlah tidak lebih daripada 1% daripada KDNK.\n\u201cPendedahan terhad kepada komoditi tenaga yang diimport dari Rusia atau Ukraine adalah konsisten merentasi minyak mentah dan petroleum, gas asli cecair (LNG) dan gas-gas lain serta arang batu.\u201c\nMoody\u2019s Analytics menyatakan bahawa bank pusat di rantau ini akan memulakan proses normalisasi dasar lebih cepat memandangkan prestasi ekonomi yang kukuh di kebanyakan wilayah APAC sejak suku keempat tahun lalu tidak termasuk China, India dan Jepun.\n\u201cTaiwan mendahuluinya pada 17 Mac dengan peningkatan 25 mata asas yang mengejutkan dalam kadar dasar faedahnya, satu langkah yang tidak dijangka berlaku sehingga pertengahan tahun. Negara itu menyertai Korea Selatan, Singapura, dan New Zealand dalam perjalanan menuju normalisasi dasar.\u201c\n\u201cChina akan kekal sebagai kitaran balas kerana merangsang ekonomi melalui dasar fiskal dan monetari dalam usaha untuk mencapai kadar pertumbuhan 5.5% tahun ini,\u201c kata firma penyelidikan itu." "Rangkuman Kewangan Menerusi Fintech\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRangkuman kewangan sering kali menjadi fokus perbincangan ekonomi pada peringkat nasional dan global. Rangkuman kewangan atau kewangan inklusif, mempunyai objektif agar perkhidmatan kewangan formal dapat diakses oleh setiap bahagian masyarakat, bukan hanya memfokuskan golongan yang berada di atas piramid ekonomi.\nAspek rangkuman kewangan meliputi akses kepada pembiayaan, pembayaran, bantuan penyelesaian kewangan, dan literasi kewangan. Manakala, fokus sasarannya merupakan bahagian masyarakat yang tidak atau kurang mendapat perkhidmatan kewangan.\nUsaha mencapai rangkuman kewangan di Malaysia diterajui oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Rangkuman kewangan merupakan teras penting yang meyokong pembangunan institusi kewangan negara. Inti pati pencapaian rangkuman kewangan terletak pada pembangunan produk dan servis yang inovatif.\nMendalami isu ini, kita tidak dapat mengelak daripada membincangkan hubungan saling pengaruh antara fintech dengan rangkuman kewangan. Sebagai inovasi teknologi bagi produk dan servis kewangan, fintech berperanan mempromosikan rangkuman kewangan. Hal ini dapat dicapai melalui pengurangan jurang maklumat asimetri, pengurangan kos transaksi, padanan pembiaya, dan peminjam yang lebih efisien, pengurangan halangan kemasukan, dan peningkatan ekonomi skala.\nKebiasaannya, peminjam mempunyai lebih banyak maklumat berkenaan projek mereka berbanding dengan pembiaya. Mereka mungkin bertindak mengambil risiko yang lebih tinggi daripada apa-apa yang mereka nyatakan. Dengan menggunakan algoritma dan maklumat elektronik lain menerusi aplikasi fintech, institusi kewangan dan perbankan dapat menilai sama ada peminjam akan menggunakan pinjaman tersebut untuk pelaburan bona fide atau sebaliknya.\nTeknologi juga dapat mempercepat proses transaksi, menjadikan kos per transaksi lebih rendah. Teknologi menerusi pemprograman komputer juga membolehkan padanan antara pembiaya dengan peminjam menjadi lebih efisien, bergantung pada kehendak kedua-dua pihak. Di samping proses yang lebih cepat dan tepat, aspek padanan oleh komputer ini juga bersifat berbagai-bagai-bagai dimensi berbanding dengan penilaian oleh seseorang pegawai institusi kewangan.\nInovasi dan teknologi dalam perkhidmatan kewangan secara amnya dilihat dapat membantu untuk mengurangkan kos transaksi, seterusnya meningkatkan pendapatan boleh guna (disposable income) yang boleh dilaburkan untuk meningkatkan pengumpulan aset, dan akhirnya meningkatkan taraf hidup. Melalui pengurangan kos tetap operasi, fintech juga dapat mengurangkan halangan kemasukan industri.\nDalam hal yang sama, inovasi rangkuman kewangan harus mengadaptasikan perkhidmatan kewangan kepada konteks, kondisi, dan pilihan oleh bahagian masyarakat yang berpendapatan rendah. Di samping itu, rangkuman kewangan harus distrukturkan agar menjadi penyelesaian yang lestari bagi jangka masa panjang.\nAkhir sekali, fintech juga dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi skala. Sebagai contohnya, ekonomi skala dapat dicapai apabila dua platform sistem yang berbeza saling bekerjasama dan berkongsi maklumat, dan seterusnya membolehkan pemasaran bersasar dilaksanakan terus kepada pelanggan.\nJelaslah bahawa trend dan inovasi digital masa kini yang kebanyakannya melibatkan teknologi telefon mudah alih membolehkan segenap lapisan masyarakat mendapatkan akses kepada pelbagai perkhidmatan kewangan dengan lebih pantas dan mudah.\nTeknologi terkini mengambil peluang atas situasi di mana majoriti masayarakat memiliki telefon mudah alih. Malah, kajian mengunjurkan bahawa pada tahun 2021, lebih banyak populasi global dunia mempunyai telefon mudah alih berbanding dengan akaun bank.\nSetakat ini, tahap rangkuman kewangan di Malaysia dilaporkan oleh Bank Dunia sebagai memuaskan. Keadaan ini dipengaruhi oleh penyeliaan BNM secara rapi. BNM aktif memperkasakan kedua-dua institusi dan pasaran kewangan negara bagi membolehkan pembangunan instrumen dan servis kewangan boleh dicapai oleh golongan yang tidak atau kurang mendapat perkhidmatan kewangan. Dengan pembangunan pesat dalam bidang teknologi, maka fintech sewajarnya diadaptasikan dalam inisiatif akan datang bagi meningkatkan pencapaian dalam rangkuman kewangan negara.\n\u00a0\nDr. Nurul Afidah Mohamad Yusof ialah Penolong Profesor di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Kewangan, Universiti Tunku Abdul Rahman." "Pelaksanaan GST Masih dalam Peringkat Kajian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kerajaan masih mengkaji kesesuaian untuk melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan model cukai kepenggunaan yang lain.\u00a0 Kementerian Kewangan menyatakan bahawa\u00a0kajian itu mengambil kira semua aspek termasuklah kelemahan sistem cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada serta kelemahan sistem GST yang dilaksanakan pada tahun 2015.\n\u201cKajian yang dijalankan turut meliputi kesan ke atas ekonomi, kos sara hidup, kesan cukai ke atas harga barang serta keupayaan menangani kegiatan ekonomi gelap.\u201c Jika cukai GST\u00a0 dilaksanakan, cukai itu juga perlu bersifat mudah ditadbir dan tidak meningkatkan kos perniagaan di samping dapat mengukuhkan kedudukan fiskal negara. Menurut kementerian itu, ekonomi negara sedang berada dalam fasa pemulihan dan pelaksanaan sebarang bentuk cukai kepenggunaan yang baharu perlu mengambil kira senario semasa.\n\u201cDi samping itu, situasi itu juga memberi ruang bagi persiapan dan persediaan yang rapi di kedua-dua pihak kerajaan dan pembayar cukai.\u201c\nSementara itu, kutipan hasil Cukai Jualan dan Perkhidmatan kerajaan Persekutuan bagi tahun 2021 adalah sebanyak RM25.48 bilion, yang terdiri daripada RM13.49 bilion daripada Cukai Jualan dan RM11.99 bilion daripada Cukai Perkhidmatan. Pada tahun 2020, Cukai Jualan dan Perkhidmatan yang dikutip ialah berjumlah RM25.25 bilion merangkumi RM13.24 bilion daripada Cukai Jualan dan RM12.01 bilion daripada Cukai Perkhidmatan." "Supermax Bina Kemudahan Pembuatan Termaju Pertama di Texas\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Supermax Corporation Bhd melalui anak syarikatnya yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Maxter Healthcare Inc akan membina kemudahan pembuatan termaju di Brazoria County, Texas. Supermax menyatakan bahawa kemudahan baharu itu akan menjadi kilang pembuatan ke-18 syarikat di seluruh dunia dan yang pertama di AS.\nMenurut syarikat itu, kemudahan pembuatan baharu seluas 215 ekar itu akan mempamerkan keupayaan canggih melalui penggunaan kecerdasan buatan dan kejuruteraan robotik yang diperluaskan dan akan merangkumi lapan bangunan.\n\u201cFasa satu akan memulakan pembinaan pada suku kedua 2022 dengan pengeluaran sarung tangan dijangka bermula pada suku kedua 2023.\u201c\u00c2\u00a0Syarikat itu sebelum ini mengumumkan pelaburan sebanyak AS$350 juta dalam fasa pertama daripada empat fasa pembinaan.\nKemudahan Supermax di Texas akan memenuhi sekurang-kurangnya 10% hingga 15% daripada permintaan tahunan sarung tangan nitril perubatan di AS dalam tempoh dua hingga empat tahun akan datang dalam fasa pertama sahaja. Fasa kedua akan memenuhi 20% hingga 25% permintaan dan penggunaan di AS dalam tempoh empat hingga enam tahun akan datang.\nPengasas dan Pengerusi Eksekutif Supermax, Datuk Seri Stanley Thai menyatakan bahawa kemudahan pembuatan di AS sentiasa menjadi keinginan syarikat. Kumpulan Supermax telah melibatkan ARCO/Murray, pembina terkenal untuk gudang dan ruang pengedaran (menurut Engineering News-Record) untuk projek ini. Supermax mengeksport ke 165 negara dan mempunyai pusat pengedaran serta operasi di AS, Kanada, UK, Ireland, Brazil, Jepun, Hong Kong dan Singapura." "Rusia Arahkan Jualan Minyak Negara dalam Mata Wang Ruble\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMoscow \u2013\u00a0Rusia menetapkan penjualan gas aslinya akan menggunakan mata wang ruble, khususnya kepada negara yang dianggap tidak mesra, sekali gus menyaksikan harga gas dan minyak di Eropah melonjak naik. Presiden Rusia Vladimir Putin menyatakan bahawa langkah itu sebagai balasan terhadap tindakan Barat membekukan aset milik Rusia.\n\u201cSaya telah memutuskan untuk melaksanakan satu set langkah untuk menukar pembayaran secepat mungkin. Kita mulakan dengan menukar pembayaran untuk gas asli kita yang dibekalkan kepada negara yang dikatakan tidak mesra dengan Rusia kepada ruble Rusia.\u201c \u201cSemua pengguna asing harus diberi peluang untuk membuat transaksi yang diperlukan dan harus ada prosedur telus yang boleh difahami untuk mereka membuat pembayaran termasuk prosedur pembelian ruble Rusia dalam pasaran pertukaran asing domestik kami.\u201c \u201cSaya sudah arahkan Bank of Rusia, bersama-sama dengan kerajaan, untuk menentukan prosedur bagi transaksi sedemikian dalam masa seminggu.\u201c katanya dalam sidang video khas di Moscow.\nMesej yang dibawa Putin jelas iaitu jika anda mahukan gas kami, beli mata wang kami.\nBagaimanapun, masih tidak dapat dipastikan sama ada Rusia berkuasa untuk menukar secara unilateral kontrak sedia ada yang dipersetujui dalam euro. Putin pada masa sama memberi jaminan bahawa bekalan akan terus disalurkan oleh Rusia di sebalik sekatan ekonomi yang dikenakan Barat. \u201cPada masa yang sama, saya ingin menekankan bahawa Rusia akan meneruskan dengan segala cara untuk membekalkan gas asli mengikut jumlah, harga dan prinsip penetapan harga yang ditetapkan dalam kontrak yang dibuat sebelum ini.\u201c\nNegara Eropah bergantung besar kepada bekalan tenaga dari Rusia untuk kegunaan kilang dan rumah penduduk khususnya pada musim sejuk. Sejak keputusan itu dibuat, harga pukal bagi gas di Eropah melonjak sehingga 30% dan nilai ruble pula meningkat selepas kejatuhan mendadak pasca sekatan Barat. Cabaran yang dihadapi oleh Kesatuan Eropah (EU) untuk mencari jalan pembayaran yang lebih mudah memandangkan institusi kewangan blok itu dihalang dari berurusan dengan Rusia. Pertukaran ini bermakna insititusi kewangan EU perlu mendapatkan ruble daripada pasaran domestik Rusia.\nSetakat ini 40% bekalan gas Eropah adalah dari Rusia namun ketika ini EU sedang berusaha mempelbagaikan sumber bekalan bagi mengurangkan kebergentungan terhadap Rusia. Namun begitu, Organisasi Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) sebelum ini menegaskan bahawa tidak ada satu sumber di dunia yang mampu mengantikan sumber minyak Rusia sebanyak 7 juta tong sehari." "Peranan Golongan Wanita dalam Ekonomi Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan \u201dPembukaan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) \u2013 Edisi Keusahawanan Sosial.\u201d Baginda bertitah peranan wanita dalam pelbagai aspek serta bidang wajar dibanggakan kerana terbukti wanita juga mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Dalam konteks wanita sebagai usahawan, kita dapat melihat bahawa peranan dan sumbangannya terhadap ekonomi negara semakin ketara.\nMenyentuh kepada aspek keusahawanan sosial, bidang itu bukan lagi satu topik baharu untuk dibincangkan pada zaman ini, namun kesedaran dan impak 3P iaitu kepada masyarakat, alam sekitar, dan keuntungan terhadapnya masih agak belum meluas. Malah, keusahawanan sosial ini bukan sahaja dapat membantu golongan masyarakat secara keseluruhan tetapi\u00a0 lebih khusus kepada wanita lain seperti ibu tunggal.\nWebinar ini dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (KUSKOP) melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan dikuasakan oleh Yayasan Tuanku Fauziah (YTF). Sesi pertama menyaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato\u2019 Suriani Dato\u2019 Ahmad berbicara mengenai \u201cKaitan \u2018Sustainable Development Goals (SDG)\u2019 dengan Keusahawanan Sosial\u201d.\nMenurut DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra, kepakaran golongan wanita sangat diperlukan untuk mencetuskan lebih banyak idea kreatif dan inovatif bagi membantu menyelesaikan isu seumpama ini melalui pelaksanaan keusahawanan sosial. Tambah DYTM Tuanku Raja Muda, kebijaksanaan wanita yang mampu menjalankan perniagaan khususnya dalam keusahawanan sosial ini juga akan terus disokong dan ditonjolkan di peringkat lebih tinggi.\nMajlis Penutupan disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah pada sebelah petang." "IHH Bercadang untuk Ambil Alih Syarikat Usaha Sama Ramsay-Sime Darby\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sime Darby Holdings Bhd (SDH) dan Ramsay Health Care Ltd telah menerima cadangan daripada IHH Healthcare Bhd untuk pengambilalihan 100% daripada syarikat usaha sama 50:50 mereka, Ramsay Sime Darby Health Care Sdn Bhd (Ramsay SDH). Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sime Darby Bhd menyatakan bahawa cadangan indikatif itu, nilai perusahaan indikatif bersyarat untuk Ramsay SDH ialah RM5.67 bilion atas asas tanpa tunai dan tanpa hutang.\n\u201cCadangan indikatif itu tertakluk kepada syarat penyelesaian usaha ketekunan wajar yang memuaskan, rundingan dan muktamadnya perjanjian jual beli. \u201cSetelah menyemak cadangan indikatif, SDH dan Ramsay SDH telah bersetuju dengan tempoh eksklusif selama empat minggu untuk membenarkan IHH menjalankan usaha ketekunan wajar dan merundingkan perjanjian jual beli.\u201c\nSyarikat itu\u00c2\u00a0menyatakan bahawa tiada jaminan bahawa persetujuan akan dicapai berkenaan dengan cadangan indikatif atau bahawa transaksi akan berlaku." "Peningkatan Harga Simen Didorong oleh Kenaikan Harga Bahan Mentah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSeremban \u2013 Kenaikan harga simen sekarang\u00a0 didorong oleh kenaikan harga bahan mentah yang digunakan dalam proses pembuatan, khususnya arang batu di pasaran antarabangsa. Pengarah Urusan Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA) Sharuddin Omar Hashim menyatakan bahawa bahan mentah mengalami kenaikan harga, termasuk arang batu yang kini merangkumi 30% hingga 40% daripada kos pengeluaran simen, sekali gus menyebabkan syarikat pembuatan tiada pilihan selain menaikkan harga.\nMenurut beliau, kenaikan harga arang batu sekarang didorong oleh larangan eksport Indonesia dan konflik antara Rusia dan Ukraine. \u201cHarga arang batu sebelum ini berada dalam lingkungan AS$60 (RM252) hingga AS$70 (RM294) satu tan, tetapi kini meningkat kepada AS$200 (RM842) satu tan dan mungkin mencecah sehingga AS$400 (RM 1,685). \u201cLarangan eksport dari Indonesia ke negara lain dan konflik Rusia-Ukraine telah menyebabkan kesukaran mendapatkan bekalan arang batu, sekali gus menyebabkan harga bahan mentah menjadi tinggi.\u201d\nBeliau menyatakan bahawa harga bahan mentah lain dalam pengeluaran simen juga meningkat dengan agak tinggi berikutan penularan wabak COVID-19 selain masalah kesesakan dari segi logistik dan pengedaran. Beliau juga menambah\u00a0syarikatnya cuba sedaya-upaya untuk mengoptimumkan pengeluaran dan mengurangkan kos pengeluaran melalui penggunaan bahan alternatif lain." "Menyemarakkan Aktiviti Bahasa dan Sastera Bersama-sama Orang Asli\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPERAK\u2212Apresiasi Bahasa dan Sastera Milik Bersama amat bertepatan dengan program bersama-sama masyarakat Orang Asli yang diadakan di Batalion 18, Pasukan Gerak Am, Pengkalan Hulu, Perak, yang bermula pada pukul 9.30 pagi ini. Program anjuran Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-62 Batalion 18.\nAntara aktiviti yang berlangsung termasuklah Pertandingan Eja dengan Betul, yang terbuka untuk pelajar sekolah rendah dan menengah serta peserta dewasa; Pertandingan Mewarna untuk kanak-kanak berumur enam tahun hingga sembilan tahun; dan Pertandingan Membaca Berita untuk pelajar sekolah rendah. Pada sebelah petang pula, Kuiz Apresiasi Bahasa dan Sastera yang terbuka untuk pelajar sekolah rendah dan menengah turut diadakan.\nPenolong Pegawai Pemerintah \u00a0Batalion 18 PGA, DSP Tuan Mohd Sail Hassan yang turut hadir ke program tersebut berharap program ini dapat diteruskan pada tahun hadapan. Menurut beliau, program ini wajar diangkat sebagai program tahunan bagi menyemarakkan aktiviti bahasa dan sastera dalam kalangan masyarakat, khususnya masyarakat Orang Asli." "TDM Lupus Aset di Indonesia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 TDM Bhd telah menerima tawaran daripada Ikhasas Sdn Bhd untuk mengambil alih dua anak syarikat di Indonesia yang tidak menguntungkan pada harga RM115 juta. TDM menyatakan bahawa anak syarikatnya\u00a0 iaitu PT Rafi Kamajaya Abadi (RKA) dan PT Sawit Rezki Abadi (SRA) tidak menjana keuntungan sejak tahun pertama pengeluaran sawit, manakala SRA tidak menjalankan operasi sejak pengambilalihannya oleh kumpulan pada tahun 2015.\n\u201cKedua-dua anak syarikat itu dijangka tidak akan mencatat keuntungan dalam tempoh terdekat,\u201c kata TDM sambil menambah bahawa kumpulan juga menerima deposit pendahuluan sebanyak RM2.3 juta daripada Ikhasas. TDM, sebuah kumpulan perladangan dan penjagaan kesihatan turut menambah bahawa mereka telah menerima tawaran daripada Ikhasas pada 21 Mac 2022. Ikhasas terlibat dalam perniagaan minyak sawit dan perdagangan serta mengeksport produk sawit. Kumpulan itu berkata ini akan membolehkan TDM menyelaraskan aktiviti perniagaannya dan menumpukan semula tenaga serta sumbernya kepada usaha niaga yang berdaya maju dengan lebih berkesan tanpa perlu berdepan dengan sebarang isu warisan.\nTawaran tersebut\u00a0 bersyarat dengan TDM dan Ikhasas memenuhi syarat khusus tertentu yang telah dipersetujui dalam tempoh enam bulan dari tarikh penerimaan tawaran atau satu tempoh lebih lama yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. \u201cTDM akan berunding secara eksklusif dengan Ikhasas berkenaan cadangan pelupusan dalam tempoh ini atau sehingga tarikh yang kemudian seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.\u201c\nTDM telah merekodkan kemerosotan nilai pelaburan aset di Indonesia sejak tahun kewangan 2017 yang berjumlah RM729 juta. Kedua-dua aset di Indonesia itu juga telah diklasifikasikan sebagai aset dipegang untuk jualan sejak tahun 2019." "Peruntukan RM1.5 Juta Bantu Koperasi Mikro\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kerajaan negeri Johor memperuntukkan RM1.5 juta bagi membantu koperasi kecil dan mikro dalam usaha untuk memulakan semula aktiviti perniagaan tahun ini. Hal itu\u00a0susulan perkembangan dan pencapaian koperasi di negeri itu yang kekal relevan dan terus mendapat kepercayaan kerajaan negeri.\nMenurut Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Johor, Fadilah Salim, Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) yang merupakan agensi kerajaan negeri turut menyediakan geran kepada koperasi melalui Program Pembangunan Ekonomi Setempat bagi membiayai projek berdaya maju dan bermanfaat kepada komuniti setempat.\n\u201cPerkembangan dan pembangunan koperasi di Johor turut mendapat sokongan dan kepercayaan menerusi pelbagai program penyelarasan bersama agensi lain seperti Felcra Berhad (Felcra), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa). \u201cBerdasarkan sokongan yang diberikan kerajaan negeri dan agensi lain ini terbukti koperasi di negeri ini mampu memainkan berperanan besar kepada anggotanya bahkan menjadi pemangkin menerusi perkongsian kemakmuran bersama rakyat.\u201d\nJelasnya lagi, SKM negeri bertekad untuk membawa perubahan bagi memastikan koperasi dapat beri manfaat kepada ahli dan komuniti setempat. Perancangan itu juga selari dengan hasrat SKM dalam memacukan pembangunan koperasi yang lebih progresif dan berdaya saing sekaligus memberi manfaat kepada sosioekonomi rakyat selari dengan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025 (TransKoM) yang dilancarkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).\n\u201cSasaran tahun ini adalah untuk meluaskan lagi skala operasi dan aktiviti ekonomi seperti pembabitan dalam sektor pertanian moden seperti fertigasi memandangkan Johor mempunyai modal tanah yang besar. \u201cGabungan aktiviti antara koperasi dan agensi lain juga dapat membuka peluang untuk mewujudkan hub pertanian moden dan memberi pulangan lumayan apabila pintu sempadan dibuka kelak selain segmen ekonomi pembangunan hartanah yang sedia ada.\u201d\nMenyentuh tentang pencapaian koperasi di negeri itu, 10 koperasi Johor terpilih bagi Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2021. Selain itu, SKM Negeri Johor telah menerbitkan buku 50 Koperasi Terbaik Johor sejak tahun 2016. Pada masa sama, SKM negeri memainkan peranan penting sebagai pelaksana untuk merangsang pembangunan koperasi melalui penglibatan dalam sektor ekonomi bernilai tinggi serta memantapkan keupayaan dan kebolehan koperasi." "Proton Lancar Inisiatif Tenaga Solar di Kilang Tanjung Malim\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Proton telah melancarkan inisiatif tenaga solarnya di kilang Tanjung Malim bagi membantu pengeluar kereta nasional itu mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 11 536 tan setahun sambil menjimatkan kos utiliti. Kemudahan tenaga solar Proton meliputi kawasan seluas 23.4 ekar yang menyediakan ruang parkir untuk 2880 kereta dan digunakan sebagai tempat transit untuk kereta yang dikeluarkan di Tanjung Malim sebelum diedarkan ke seluruh negara.\nKemudahan panel solar di tempat letak kereta itu diliputi oleh 20 544 panel solar dwimuka yang\u00c2\u00a0 boleh menjana tenaga daripada cahaya matahari secara langsung pada bahagian atas serta pantulan cahaya matahari dari permukaan jalan dan kereta yang diletakkan di bawah panel tersebut. Kereta yang baru dihasilkan juga turut dilindungi daripada unsur-unsur kerosakan di kawasan parkir itu. Gabungan tenaga yang dijana daripada kemudahan panel solar ialah 12 megawatt puncak (MWp), cukup untuk menampung sehingga 25% daripada penggunaan kuasa di kilang itu.\nKemudahan panel solar tempat letak kereta itu boleh menjana 9MWp. Kemudahan itu dibina dan ditauliahkan oleh Pekat Group dan rakan sekutunya MFP Solar. \u201cKemudahan itu juga berpotensi untuk mengurangkan bil elektrik Proton sebanyak RM4.39 juta setahun dengan penjimatan sebanyak RM1.46 juta melalui 3MWp yang dijana melalui panel yang dipasang di atas bumbung kilang.\u201c\nSyarikat itu melancarkan Proton Green Wheel dan Polisi Hijau pertamanya pada tahun 2015 yang terdiri daripada lima fasa melibatkan sistem pengurusan tenaga; kecekapan tenaga; pengurusan sisa dan air; tenaga boleh diperbaharui melalui loji tenaga solar; dan mendigitalkan semua data tenaga Proton pada pelayan awan bagi memperkenalkan kecerdasan buatan dan analisis data besar.\nInisiatif ini telah mencapai penjimatan bil elektrik sebanyak RM20 juta atau bersamaan penjimatan 55,000MWj dan lebih 40,000 tan pengurangan pelepasan karbon dioksida ke udara dalam tempoh lima tahun dari tahun 2015 hingga tahun 2020." "Golongan Usahawan Wanita Teras Pembangunan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merangkap Tuanku Pengerusi YTF berkenan merasmikan majlis \u201dPenutupan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) \u2013 Edisi Keusahawanan Sosial\u201c.\nBaginda bertitah bahawa sesungguhnya bidang keusahawanan merupakan satu sektor yang penting dalam membantu menjana ekonomi negara. Keusahawanan hari ini bukanlah satu bidang yang hanya boleh diceburi oleh kaum lelaki sahaja, malah kaum wanita turut mencipta nama dalam memperkasakan ekosistem ini. Justeru, sesebuah negara yang ingin maju dari pelbagai aspek perlulah memantapkan bidang keusahawanan dalam kalangan wanita.\nBaginda juga bertitah kebolehan dan kesungguhan kaum wanita yang bijak menguruskan keluarga dan kerjaya khususnya sebagai usahawan amat membanggakan serta harus dikekalkan. Atas sebab inilah, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) komited menyokong usaha bagi membuka mata semua untuk memperkasakan lagi usahawan wanita. Baginda mendoakan para wanita di Malaysia supaya terus maju dalam bidang keusahawanan sosial agar dapat menjana ekonomi negara yang kekal teguh dan perkasa di mata dunia.\nDemikian titah Raja Puan Muda yang juga merangkap Tuanku Pengerusi YTF ketika berkenan merasmikan majlis Penutupan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) \u2013 Edisi Keusahawanan Sosial.\nWebinar ini dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (KUSKOP) melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan dikuasakan oleh Yayasan Tuanku Fauziah (YTF). Baginda bertitah masyarakat perlu akui bahawa skop keusahawanan sosial ialah meluas dan merentasi industri seperti pendidikan, sosial dan pembangunan belia. Keadaan itu menunjukkan lebih banyak peluang keusahawanan sosial yang boleh diceburi wanita dan pelbagai usaha perlu dilipatgandakan demi memantapkan ekosistem keusahawanan negara.\nTuanku Hajah Lailatul Shahreen turut menitahkan ucapan syabas dan tahniah kepada mereka yang berjaya membantu menyelesaikan isu sosial melalui perniagaan masing-masing." "Hari Usahawan Negara 2022 Pusat Sehenti Usahawan Tempatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Penganjuran Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 yang berlangsung dari 24 hingga 28 Mac di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), muncul sebagai pusat sehenti buat usahawan tempatan. Acara mega selama lima hari anjuran Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) yang pertama kali diadakan di Malaysia itu berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.\nSebanyak 1000 lot pameran dibuka bagi usahawan tempatan dan antarabangsa mempamerkan produk masing-masing. Presiden DPUKM, Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor menyatakan bahawa HUN 2022 yang bertemakan \u2018Usahawan Pemangkin Negara\u2019 itu mempunyai matlamat yang besar. \u201cSelain merancakkan kembali ekonomi para usahawan yang terjejas dengan pandemik COVID-19, acara berkenaan juga diadakan untuk membantu peniaga dan bakal peniaga menerusi perkongsian informasi dalam pelbagai program yang dianjurkan termasuk lot pameran pelbagai agensi kerajaan.\u201c\n\u201cTujuan HUN 2022 dianjurkan adalah untuk mengukuh dan mengembangkan segala teras sokongan keusahawanan yang telah dan akan disediakan oleh kerajaan menerusi pelbagai agensinya.\u201d Selain itu,\u00a0HUN 2022 juga bermatlamat untuk meningkatkan ekonomi usahawan di Malaysia ke peringkat global dan mencipta kesedaran masyarakat dalam memilih bidang keusahawanan.\n\u201cHUN 2022 telah menyediakan pusat info keusahawanan melalui taklimat pelbagai agensi termasuk FAMA, MARA, Agrobazaar Online dan Akademi Jana Usahawan. \u201cTidak ketinggalan diadakan taklimat mengenai kerjaya, klinik keusahawanan (latihan dan mentor), simposium ekonomi dan keusahawanan, biz forum (peluang pembiayaan bersama Tekun Nasional) dan pocket talk (wawancara ikon usahawan secara langsung).\n\u201cRugi jika usahawan dan mereka yang berminat dalam perniagaan tidak hadir ke HUN 2022. Semua informasi berkaitan perniagaan ada di sini.\u201d\nSelain itu, pelbagai aktiviti disediakan untuk memeriahkan lagi HUN 2022 seperti persembahan artis popular, car free morning dan jogathon 1000 peserta di Dataran Merdeka. Tidak ketinggalan, acara rancangan mainan akal, persembahan battle of the band, pertunjukan kereta dan motosikal klasik, kereta mewah, Malam Aneka Ragam Pop Yeh Yeh, Retro Klasik, Warisan HUN dan belon udara panas.\nAcara kemuncak HUN 2022 adalah makan malam gala yang diadakan pada 28 Mac, bersempena majlis anugerah untuk golongan usahawan. \u201cPelbagai peringkat Anugerah Keusahawanan Kebangsaan akan diberikan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebagai sebahagian daripada sambutan ini. \u201cAnugerah ini bertujuan untuk mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada usahawan dan pembina ekosistem keusahawanan atas dan ketekunan usaha cemerlang mereka menyumbang ke arah merancakkan kembali sektor ekonomi negara.\u201d" "Usahawan Perlu Kuasai Teknologi Pendigitalan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Perdana Menteri Dato\u2019 Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru usahawan agar menguasai pelbagai teknologi baharu khususnya pendigitalan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus perdana. Beliau menyatakan bahawa segenap rangkaian ekonomi kini berdepan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang membawa pelbagai teknologi baharu.\nSehubungan itu,\u00c2\u00a0 kerajaan menyedari perkembangan itu dan mempergiatkan persediaan rapi termasuk menyediakan MyDIGITAL. \u201cMyDIGITAL merupakan satu inisiatif yang mencerminkan aspirasi kerajaan mentransformasikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi, berpacukan pendigitalan dan sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital. \u201cRangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar 4IR menggariskan usaha serta inisiatif dalam mencapai aspirasi MyDIGITAL,\u201c katanya ketika berucap merasmikann Hari Usahawan Negara (HUN) 2022, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).\nBeliau juga berharap usahawan menguasai teknologi baharu ini khususnya pendigitalan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam dunia arus yang sedang berkembang pesat. Beliau menambah pendigitalan juga dapat membantu produk dari luar bandar menembusi pasaran yang lebih luas." "TM Nafi Tuntutan MYTV dan Hantar Notis Tuntutan Balas untuk Bayaran Tertunggak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Telekom Malaysia Berhad (TM) menafikan segala dakwaan dan tuntutan dalam notis timbang tara yang dibuat oleh MYTV Broadcasting Sdn Bhd bulan lepas berhubung ketiadaan pembayaran dibuat bagi penyediaan Televisyen Terestrial Digital (DTT), infrastruktur penyiaran dan kemudahan rangkaian.\n\u201cTM menafikan semua dakwaan dan tuntutan yang dibuat oleh MYTV dalam notis timbang taranya. TM seterusnya menafikan bahawa MYTV berhak mendapat mana-mana pelepasan yang diminta dalam notis timbang tara.\n\u201cMYTV tidak menyatakan butiran yang berkaitan dalam notis timbang tara mereka untuk membuktikan tuntutan itu untuk pelepasan dan remedi terhadap TM. TM mempunyai hak dalam perkara ini,\u201c katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia.\nPada masa sama, TM membuat tuntutan balas terhadap MYTV untuk pelepasan terhadap caj tertungak RM90.2 juta dan RM5.54 juta untuk caj lewat pembayaran yang perlu dibayar oleh MYTV kepada TM menerusi perjanjian pada 25 Mac 2022.\nPada bulan lalu, MYTV menuntut pelepasan bagi beberapa perkara termasuk:\nMYTV merupakan penyedia perkhidmatan dan rangkaian yang dikawal Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dan pada tahun 2016, TM menandatangani kontrak 15 tahun bernilai RM916.1 juta untuk menyediakan perkhidmatan kepada MYTV. Menerusi perjanjian perkhidmatan itu, TM boleh mengambil bahagian dalam transformasi industri penyiaran dengan mewujudkan sektor penyiaran dinamik yang menawarkan lebih banyak pilihan dalam hiburan, TV interaktif serta program bermaklumat berkualiti tinggi. Dilaporkan bahawa MYTV berhutang lebih RM60 juta kepada TM dan menyebabkan perkhidmatan di beberapa negeri sudah digantung." "Mangga Harumanis Lambang Kebanggaan Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Majlis Pelancaran Festival Mangga Harumanis Perlis Tahun 2022 anjuran Jabatan Pertanian Negeri Perlis di Pusat Kecemerlangan Mempelam Harumanis, Pusat Pertanian Bukit Bintang. Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.\nMenerusi majlis tersebut, baginda menyarankan Mangga Harumanis Perlis dipromosikan kepada syarikat korporat untuk dijadikan sebagai hadiah korporat atau hamper eksklusif pilihan bagi dihadiahkan kepada pelanggan utama masing-masing secara terus dari Perlis bersempena dengan sambutan Aidilfitri pada kali ini. Pada masa yang sama, baginda menyeru agar rakyat dapat menjadikan Mangga Harumanis Perlis sebagai juadah istimewa untuk berbuka puasa seisi keluarga yang tersayang sempena bulan Ramadan.\nKeberangkatan tiba baginda berdua ke program bagi mempromosikan dan memaklumkan\u00a0 permulaan musim Mangga Harumanis Perlis Tahun 2022 itu disambut oleh Pengarah Bahagian Pengembangan yang menanggung tugas Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pembangunan Industri dan Pengembangan Malaysia), Encik Johari Abdullah dan Pengarah Pertanian Negeri Perlis, Encik Hafizuddin Othman. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Menteri Besar, YBhg. Dato Seri Azlan Man. DYTM Tuanku Raja Muda turut mengucapkan penghargaan kepada pihak Maybank yang banyak membantu dalam pemasaran secara dalam talian dan Air Asia yang mengembangkan pasaran produk tersebut ke Sabah dan Sarawak.\nDalam titah baginda, DYTM Tuanku Raja Muda menasihati para pengusaha supaya menguruskan tanaman berdasarkan amalan pertanian baik bagi memastikan kualiti buah Mangga Harumanis Perlis yang terhasil berkualiti tinggi dan selamat untuk dimakan. Baginda juga menyeru pengusaha ladang Mangga Harumanis Perlis\u00a0agar memohon persijilan MyGAP daripada pihak Jabatan Pertanian untuk meningkatkan lagi kualiti hasil Harumanis Perlis. DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra juga mengharapkan para pengusaha agar menjual Harumanis dengan penuh kejujuran.\nMenyentuh mengenai harga yang tinggi, baginda menerangkan bahawa musim Mangga Harumanis singkat, iaitu antara dua hingga tiga bulan sahaja setahun. Jika diteliti berdasarkan kaedah serta kos penanamannya, ternyata harga berkenaan munasabah kerana penjagaan pokok ini amat rumit dan sukar. Malahan, para pengusaha juga terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi ekoran daripada masalah kenaikan harga input pertanian yang mendadak berlaku pada masa ini." "Pasaran Modal Malaysia Meningkat kepada RM3.5 Trilion Pada Tahun 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pasaran modal domestik Malaysia meningkat 3.0% kepada RM3.5 trilion pada tahun 2021 berbanding RM3.4 trilion pada tahun 2020, disokong oleh infrastruktur kawal selia pasaran modal yang kukuh, ekosistem pasaran yang dipelbagai dan tahap permodalan peserta pasaran yang mantap.\nLaporan Tahunan 2021 Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melaporkan pasaran modal domestik terus menyokong ekonomi sebenar dengan keseluruhan pasaran modal meningkat secara purata sebanyak 4.5% sejak tahun 2017, berbanding pertumbuhan purata lima tahun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 2.5%. \u201cPasaran modal Malaysia kekal berdaya tahan dan teratur sepanjang 2021 di tengah-tengah persekitaran global dan domestik yang agak mencabar. \u201cPasaran modal terus memainkan peranan asasnya dalam membiayai ekonomi domestik dan menggerakkan tabungan.\u201c\nJumlah dana yang dikumpulkan dalam pasaran modal kekal kukuh, mengembang kepada RM130.9 bilion pada 2021 (2020: RM114.6 bilion) dan melebihi purata lima tahun prapandemik sebanyak RM121.4 bilion dengan RM16.6 bilion daripada jumlah berkenaan dikumpulkan melalui pasaran ekuiti, manakala RM114.3 bilion dikumpulkan melalui pasaran bon korporat.\nSementara itu, saluran pembiayaan alternatif melalui pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara terus menarik minat, terutamanya dalam menyokong keperluan pembiayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana. Menurut SC, industri pengurusan dana juga kian berkembang pada tahun 2021, menyaksikan aset di bawah pengurusan (AUM) meningkat kepada RM951.1 billion (2020: RM905.5 billion).\nSelain itu, SC itu turut menyatakan pasaran ekuiti domestik terkesan oleh kekangan berterusan di peringkat global dan domestik.\nPermodalan pasaran keseluruhan Bursa Malaysia dan FBM KLCI masing-masing menyederhana kepada RM1.79 trilion dan RM1.04 trilion pada tahun 2021 (2020: masing-masing RM1.82 trilion dan RM1.06 trilion) dengan indeks FBM KLCI turut merosot sebanyak 3.7% dan mengakhiri tahun 2021 pada 1,567.5 mata. Bagaimanapun, SC menyatakan bahawa sentimen dalam pasaran ekuiti domestik kekal memihak kepada syarikat berkaitan FBM Permodalan Kecil (Small Cap) memandangkan prestasi cemerlang mereka yang berterusan pada tahun berkenaan.\nInstitusi tempatan merupakan penjual bersih dengan jumlah sebanyak -RM9.1 bilion pada 2021, manakala jualan bersih oleh bukan pemastautin menyusut kepada -RM3.1 bilion (2020: -RM24.6 bilion) dari segi penyertaan dagangan. Selain itu, SC turut menambah jumlah bon belum tebus dalam pasaran bon Malaysia meningkat kepada RM1.7 trilion pada tahun 2021 daripada RM1.6 trilion pada tahun 2020, mencerminkan tahap pengumpulan dana hutang yang lebih tinggi.\nPasaran bon domestik juga menyaksikan peningkatan minat pelabur asing dengan aliran masuk bersih berjumlah RM33.6 bilion pada tahun 2021 (2020: RM18.3 bilion) yang merupakan\u00c2\u00a0 jumlah tertinggi sejak tahun 2012." "TalentCorp Buka Cawangan di Pulau Pinang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBayan Baru \u2013 Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) melebarkan operasinya di Pulau Pinang menerusi pembukaan pejabat operasi yang baharu. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Matthew menyatakan bahawa pembukaan pejabat operasi itu merupakan salah satu usaha pihaknya mengukuhkan kedudukannya di kawasan utara.\nTambahnya, pejabat baharu TalentCorp dan MYXpats di Bayan Baru akan berperanan sebagai penghubung kolaborasi dengan majikan untuk dalam pembangunan bakat pekerja di negara ini. Beliau turut menyatakan syarikatnya dapat membantu pemain industri di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang dijangka memerlukan 30 000 peluang pekerjaan baharu. \u201cDengan kewujudan pejabat baharu di Bayan Baru ini, TalentCorp berharap dapat memberi khidmat lebih baik di wilayah utara Malaysia, bukan sahaja membantu sektor swasta dan awam membina pertumbuhan mereka sendiri, tetapi juga membolehkan Malaysia mencapai aspirasi ekonominya. \u201cKewujudan MYXpats di Pulau Pinang juga menyasarkan untuk menambah baik masa pemprosesan bagi perkhidmatan di rantau itu.\u201d\nBeliau menambah bahawa pejabat baharu itu merupakan cawangan pertama TalentCorp di luar Lembah Klang. Selain beroperasi di Pulau Pinang, Talent Corp juga dapat melebarkan sayap di Kedah, Perlis dan Perak selepas ini dalam usaha mencari bakat baharu pekerja di kawasan utara. \u201cHasil pertumbuhan ini, TalentCorp berhasrat mengukuhkan kedudukannya di wilayah utara dengan menyediakan perkhidmatan kepada syarikat yang memerlukan maklumat dan bantuan mengenai inisiatif yang ada sehingga mereka berjaya.\u201d" "\u201cDan\u201d dan \u201cSerta\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nSaya kurang memahami penggunaan kata \u201cdan\u201d dan \u201cserta\u201d. Adakah kedua-dua kata itu dapat bertukar ganti dalam penggunaannya? Bagaimanakah cara penggunaannya yang tepat?\n\u00a0\nDaripada:\nFatin Nabilah Nazri,\nPetaling Jaya, Selangor." "Porsche Pilih Malaysia Sebagai Lokasi Pengeluaran Pertama di Luar Eropah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKulim \u2013 Pengeluar kereta Jerman, Porsche AG memilih Malaysia sebagai lokasi pengeluaran pertamanya di luar Eropah. Kerjasama jenama kereta itu bersama Inokom Corporation milik syarikat Sime Darby Bhd dengan menjalankan operasi pemasangan tempatan (CKD) di Kulim, Kedah bakal menjadikan Malaysia sebagai hab untuk pasaran antarabangsa.\n\u201cKami sangat berbangga dengan kerjasama ini berikutan pencapaian Sime Darby yang secara konsisten memastikan penyampaian, kualiti produk dan pemanduan mencapai standard yang ditetapkan. \u201cKilang baharu Porsche AG ini dikendalikan sepenuhnya oleh anak tempatan, menunjukkan kebolehan dan pengetahuan teknikal yang tinggi dalam kalangan rakyat dan membuka peluang membina kerjaya,\u201d jelas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad, Datuk Jeffri Salim Davidson. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kilang Tempatan untuk Porsche di Malaysia yang disempurnakan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.\nKenderaan Utiliti Sukan (SUV) Porsche Cayenne menjadi model pertama CKD di Malaysia. Ahli Lembaga Eksekutif Jualan dan Pemasaran Porsche AG, Detlev von Platen menyatakan bahawa kerjasama ini merupakan salah satu strategi pertumbuhan dan mengukuhkan pasaran di rantau ASEAN. Tambahnya, Porsche memilih Malaysia untuk kemudahan pemasangan pertamanya di luar Eropah menandakan keyakinan syarikat itu terhadap ekosistem dan kekuatan Malaysia yang kondusif untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang mereka.\nKemudahan pertama pengeluar kereta sport global itu di Kulim ini juga mengiktiraf keupayaan bakat tempatan dan berpotensi membawa mereka memperluaskan jejak di rantau Asean. Kilang pemasangan Porsche ini sejajar dengan Dasar Automitif Negara (NAP) 2020 yang bertujuan memajukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembuatan automotif, kejuruteraan, teknologi dan pembangunan mampan." "Indeks Harga Pengeluar Meningkat kepada 9.7% Akibat Kenaikan Harga Komoditi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia bagi pengeluaran pada Februari 2022 meningkat 9.7% didorong oleh harga komoditi utama yang lebih tinggi.\nKetua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa peningkatan dalam IHPR pengeluaran tempatan itu dipacu oleh indeks perlombongan yang meningkat 23.3% berbanding 34.3% yang dicatatkan pada Januari 2022.\n\u201cPeningkatan itu turut dipacu oleh indeks pertanian, perhutanan dan perikanan yang mencatatkan peningkatan lebih tinggi pada 17.7% berbanding 12.5% pada Januari 2022. \u201cIni didorong terutama oleh indeks bagi penanaman tanaman kekal (23.3%), perikanan (9.4%) dan pengeluaran ternakan (4.8%).\u201d\u00a0IHPR pengeluaran tempatan digunakan untuk mengukur kos barangan di pintu kilang.\nPada masa sama, indeks pembuatan meningkat 7.9% daripada 7.0% yang direkodkan pada Januari 2022. Indeks ini disokong oleh kenaikan dalam indeks subsektor pembuatan produk petroleum bertapis (20.3%), pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (18.6%) serta pembuatan kimia asas, baja dan sebatian nitrogen, plastik dan getah sintetik dalam bentuk primer (13.1%). Sementara itu, indeks bekalan air serta bekalan elektrik dan gas masing-masing meningkat 1.4% dan 0.8%.\nBeliau menambah\u00a0 IHPR pengeluaran tempatan meningkat 2.0% pada Februari 2022 berbanding 1.3% yang dicatatkan pada bulan sebelumnya. Kenaikan ini disumbangkan oleh peningkatan 6.9% dalam indeks pertanian, perhutanan dan perikanan (Januari 2022: 4.5%) yang dipacu oleh harga buah tandan segar kelapa sawit yang lebih tinggi.\n\u201cHarga minyak mentah dan gas asli terus meningkat pada Februari 2022, menyumbang kepada kenaikan 3.6% dalam indeks perlombongan.\u201c\nMengulas mengenai kesan perang antara Rusia dan Ukraine kepada harga komoditi utama dunia, gangguan kepada rantaian bekalan global terutama bagi komoditi utama dunia dijangka bertambah teruk berikutan tekanan yang berlaku antara Rusia dan Ukraine. Harga bagi komoditi utama dan bahan mentah seperti minyak mentah, semikonduktor, baja dan gas asli dilihat akan terus meningkat memandangkan dua negara ini merupakan antara pengeluar utama terbesar bagi bahan mentah.\n\u201cAkibatnya, harga bagi produk akhir juga akan meningkat menyebabkan pengguna terutama mereka yang berada dalam kumpulan isi rumah berpendapatan rendah merasai tekanan.\u201d" "Kerjasama DEFTECH dengan FNSS Diteruskan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (DEFTECH) dan syarikat Turki, FNSS Savunma Sistemleri A\u015e (FNSS) bertukar perjanjian kerjasama (CA) untuk reka bentuk, pembangunan, fabrikasi, pembuatan, lokalisasi, pemasangan dan pembekalan kenderaan berperisai keluarga PARS FNSS kepada Kerajaan Malaysia.\nPertukaran dokumen tersebut telah disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang di Pavilion DEFTECH pada Defence Services Asia 2022 ke-17 (DSA 2022) di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC).\nDEFTECH diwakili oleh Ketua Pegawai Operasinya, Lt. Jeneral Datuk Hanafiah Jaafar, manakala FNSS diwakili Pengurus Besar dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kadir Nail Kurt. DEFTECH telah bekerjasama dengan FNSS sejak 2011, bermula daripada pembekalan AV8 Gempita kepada Tentera Darat Malaysia. Program AV8 Gempita dijangka akan berakhir tidak lama lagi dengan penghantaran unit terakhir yang dijadualkan pada Disember 2022.\nKetua Pegawai Eksekutif Kumpulan DEFTECH, Fazley Ariffin menyatakan bahawa kerjasama di bawah program AV8 Gempita telah mendorong DEFTECH ke arah memberi tumpuan kepada pengeluaran kenderaan perisai tempatan untuk industri pertahanan Malaysia. \u201cKami telah bekerjasama dengan FNSS selama lebih 10 tahun dan telah membina hubungan yang kukuh dan membuahkan hasil. Kenderaan FNSS telah diterima baik oleh Tentera Darat Malaysia dan diiktiraf di peringkat global. \u201cKami ingin meneruskan perkongsian kukuh pada masa hadapan dan kami berharap kerjasama ini akan membawa lebih banyak peluang kepada kedua-dua pihak.\u201d\nBeliau menambah kerjasama itu akan berusaha memanfaatkan keupayaan teras masing-masing untuk melengkapkan tentera Malaysia dengan kenderaan perisai yang disokong oleh kepakaran teknikal tempatan. \u201cProgram AV8 Gempita ialah bukti pengalaman dan kemahiran tidak ternilai yang diperoleh melalui kerjasama ini. Ini telah membolehkan DEFTECH berkembang ke arah peningkatan pembuatan tempatan seterusnya akan meningkatkan lagi industri pertahanan Malaysia daripada segi kemahiran dan keupayaan.\u201c\nKetua Pegawai Eksekutif FNSS, Kadir Nail Kurt pula menyatakan bahawa kerjasama dengan DEFTECH terbukti berjaya dalam tempoh dua dekad,yang telah melibatkan pemindahan teknologi reka bentuk dan pembuatan kenderaan perisai di Malaysia." "BNM akan Menyokong Usaha Pemulihan Ekonomi Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bank Negara Malaysia (BNM) terus memberikan tumpuan pada usaha menyokong pemulihan ekonomi yang mampan pada tahun 2022 berlatarkan antara lainnya keadaan yang pantas berubah dan ketidakpastian berhubung dengan perkembangan COVID-19, konflik geopolitik dan gangguan rantaian bekalan.\nDalam Laporan Tahunan 2021 yang dikeluarkan , BNM menyatakan bahawa pendirian dasar monetari akan terus didorong oleh data dan implikasinya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.\nSelain itu, dasar bank dan dasar makroekonomi yang lain kekal penting dalam memastikan pemulihan yang mampan serta menghindarkan bebanan yang berlebihan terhadap mana-mana instrumen dasar tersebut. \u201cOperasi monetari akan memastikan mudah tunai yang mencukupi dalam pasaran pertukaran asing,wang dan bon kerajaan.\n\u201cDasar dan operasi monetari ini juga akan menjadi pelengkap kepada dasar bank yang lain bagi memastikan pasaran kewangan domestik dan pengantaraan kewangan berfungsi dengan lancar.\u201c\nBank akan terus bekerjasama dengan kerajaan dalam melaksanakan langkah-langkah dasar yang relevan bagi memastikan ekonomi berjaya mengharungi krisis dan mengukuhkan daya tahannya untuk masa hadapan. BNM menambah memandangkan perubahan yang akan berlaku dalam persekitaran ekonomi dan kewangan ini serta kemungkinan kejutan, bank akan terus menilai keteguhan rangka kerja dasar monetarinya. \u201cAkhirnya, semua ini bertujuan untuk memastikan rangka kerja dasar monetari Bank kekal relevan dan sesuai-untuk tujuan dalam memelihara kemampuan bank pusat mencapai mandat dasar monetarinya dan di samping itu menghasilkan daya tahan sistem kewangan dan makroekonomi yang kukuh.\u201c\nDalam usaha menyokong Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan menasihati kerajaan, bank menjalankan pengawasan beranalisis yang rapi dan tepat pada masanya serta penyelidikan yang mendalam. Pada tahun 2021, bidang tumpuan utama dalam tempoh terdekat termasuk menilai kekukuhan pemulihan ekonomi Malaysia berdasarkan perkembangan pandemik. \u201cBank telah menilai kekurangan cip semikonduktor global dan kesannya terhadap ekonomi Malaysia dan mengemas kini anggaran kesan ekonomi daripada langkah-langkah pembendungan dalam negeri. \u201cSelain itu, Bank menganalisis amalan penetapan harga oleh perniagaan dalam negeri semasa pandemik.\u201c\nMenurut laporan itu, Rangka Kerja Kadar Rujukan (RRF) juga telah ditambah baik, berikutan penilaian bank terhadap keberkesanannya dalam mencapai hasil yang dihasratkan sejak pertama kali diperkenalkan pada bulan Januari 2015. \u201cDi bawah RRF yang dikemas kini ini, yang akan berkuat kuasa pada 1 Ogos 2022, kadar rujukan, iaitu kadar asas standard (SBR) akan diselaraskan merentasi bank-bank dan dihubungkan hanya kepada kadar dasar semalaman (OPR). \u201cPengemaskinian ini memudahkan transmisi dasar monetari yang berkesan memandangkan pelarasanbayaran balik pinjaman akan dilaksanakan apabila OPR berubah. \u201cTindakan ini juga akan meningkatkan ketelusan dan kebolehbandingan kadar pemberian pinjaman runcit merentasi bank.\u201c" "ASB 2 Umum Agihan Pendapatan 4.30 Sen Seunit, ASM 4.00 Sen Seunit\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM1.39 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 untuk dua dana harga tetap iaitu Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan Amanah Saham Malaysia (ASM).\nPermodalan Nasional Bhd. (PNB) menyatakan bahawa ASB 2 mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM514.5 juta, bersamaan 4.30 sen seunit kepada 481,030 pemegang unit yang kini memiliki 11.96 bilion unit. ASM pula mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM883.5 juta, iaitu bersamaan 4.00 sen seunit kepada 567,904 pemegang unit dengan pegangan 22.09 bilion unit.\nASB 2 merekodkan pendapatan bersih yang direalisasi sebanyak RM563.93 juta, manakala ASM mencatatkan RM1.03 bilion sehingga 22 Mac 2022. Pengagihan pendapatan ASB 2 dan ASM\u00a0 bersamaan dengan jumlah pulangan masing-masing sebanyak 4.30% dan 4.00%, yang mana kedua-duanya mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12-Bulan Maybank pada 1.85% sebanyak 245 mata asas untuk ASB 2 dan 215 mata asas untuk ASM. \u201cPendapatan bagi kedua-dua dana ini diperoleh daripada keuntungan yang direalisasi, dividen serta pendapatan lain daripada pelaburan domestik dan antarabangsa, yang secara umumnya didorong oleh pembukaan semula ekonomi di kebanyakan negara seiring kita menuju ke fasa endemik. \u201cKedua-dua dana ini juga meraih keuntungan menerusi strategi kepelbagaian portfolio dengan peningkatan peruntukan dalam pelaburan antarabangsa kepada 18.7% untuk ASB 2 berbanding 15.7% pada tahun lalu, dan 20.5% bagi ASM berbanding 19.8% pada tahun 2021.\u201c\nMenurut PNB, pihaknya sentiasa berpegang teguh kepada mandat untuk memberi pulangan yang mampan kepada pemegang unit dan akan terus membina portfolio berdaya tahan yang mampu mengharungi ketidaktentuan ekonomi dan pasaran.\nPengiraan pengagihan pendapatan untuk ASB 2 dan ASM\u00a0 berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi setiap dana.\nPengagihan yang diisytiharkan oleh dana-dana ini akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2022.\nUrus niaga di semua cawangan dan ejen ASNB bagi kedua-dua dana tersebut telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 23 hingga 31 Mac 2022 bagi memudahkan proses pengiraan pengagihan pendapatan. Pemegang unit boleh mengemas kini akaun mereka di portal myASNB di www.myasnb.com.my, melalui aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 1 April 2022." "Pembukaan Semula Sempadan Tingkatkan Sasaran Capai Faktor Muatan 95% AirAsia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Dua Juta Belia Bakal Terima Kredit e-tunai RM150 Menerusi e-Pemula\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "AIM Terima Pengiktirafan Antarabangsa Institusi Mikrokredit Terbaik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Program Jualan Keluarga Malaysia Bersempena dengan Ramadan Kuala Lumpur\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0 \u2013 Program Jualan Keluarga Malaysia peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PJKM WPKL) kini diteruskan dan diperluasdengan perlaksanaan PJKM WPKL Ramadan 2022 yang dirasmikan oleh YB Dato Sri Alexandar Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di AEON BIG, Danau Kota.\nPerasmian hari ini menandakan bermulanya PJKM WPKL Ramadan 2022 yang akan berlangsung selama sebulan mulai 3 April 2022 hingga 2 Mei 2022 dengan kerjasama 15 pemain industri daripada 11 buah kawasan parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.\nSepanjang bulan Ramadan ini, PJKM WPKL akan memfokuskan 12 barangan terpilih daripada Skim Harga Kawalan Keluarga Malaysia (SHMKM), iaitu Ayam Hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, cli merah, tomato, sawi hijau, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing), kacang panjang, timun dan pelbagai pilihan lain.\nSelain itu, ahli Keluarga Malaysia juga boleh mendapatkan barangan keperluan asas dan harian seperti gula, tepung, beras, minyak masak, barang makanan proses, dan lain-lain barangan dengan harga yang lebih murah berbanding dengan harga pasaran setempat.\nPJKM WPKL\u00a0 dilaksanakan di 11 buah kawasanParlimen\nWilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mendapat sambutan yang menggalakkan.Sebanyak \u00a0220 328 orang pengunjung\u00a0 membanjiri PJKM WPKL di 109 buah lokasi dengan rekod jualan mencecah RM2.315 juta.\nRakan Strategik Sektor Peruncitan yang terlibat dalam PJKM WPKL Ramandan 2022, antaranya termasuklah:\n1. AEON Mall Metro Prima\n2. Ong Tai Kim Supermarket Sentul\n3. AEON Big Danau Kota\n4. Lotus Kepong\n5. St Rosyam Mart Sdn Bhd\n6. Pasaraya Aj Best\n7. Hero Berjaya Times Square\n8. Lulu Hypermarket\n9. Nsk Grocer Quill City Mall\n10. Checkers Sri Sentosa\n11. Econsave Scott Garden\n12. Nsk Trade City (KL) Sdn Bhd\n13. Pasaraya Borong Big\n14. Kk Mart & Super Store\n15. 99 Speed Mart Sdn Bhd\nKPDNHEP WPKL mengalu-alukan agar lebih banyak pasar raya\nuntuk menyahut dan menyokong usaha Kerajaan dengan menyertai Program Jualan Keluarga Malaysia yang akan datang. Inisiatif ini akan diperluaskan secara berperingkat supaya manfaat dapat dinikmati oleh ahli Keluarga Malaysia, terutamanya yang kurang berkemampuan dari golongan B40 dan M40yang menetap di WPKL.\nProgram ini\u00a0 terbukti dapat membantu meringankan beban\nperbelanjaan isi rumah rakyat Malaysia, di samping bersifat pemangkin kepada masyarakat pengguna untuk merancang pembelian dan membuat pilihan yang bijak.\nKPDNHEP ingin mengingatkan kepada semua peniaga agar sentiasa beretika mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan. Kerajaan menyeru agar rakyat bersabar dan terus bersama kerajaan dalam waktu sukar yang luar biasa ini yang turut melanda dunia dan memberikan\nkesan kepada rantaian bekalan global dan negara.\nSebanyak 2200 orang Pegawai Penguat Kuasa dan 1000 orang Pegawai Pemantau Harga KPDNHEP di seluruh negara akan terus melaksanakan pemantauan dan pemeriksaaan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan tiada elemen pencatutan yangterhadap barangan dalam pasaran." "Nationwide Dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bursa Malaysia Securities Bhd menolak rayuan Nationwide Express Bhd untuk lanjutan masa bagi menyerahkan pelan penstrukturan semulanya kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk kelulusan dan memutuskan syarikat itu dinyahsenarai seiring dengan syarat penyenaraian. Sekuriti syarikat itu akan dikeluarkan daripada senarai rasmi Bursa Securities pada Selasa, 5 April, 2022.\n\u201cSelepas penyahsenaraian, syarikat itu akan terus wujud tetapi sebagai entiti tidak tersenarai. \u201cSyarikat masih boleh meneruskan operasi dan perniagaannya serta meneruskan penstrukturan semula korporatnya, dan pemegang sahamnya masih boleh diberi ganjaran daripada prestasi syarikat. \u201cBagaimanapun, pemegang saham akan memegang saham yang tidak lagi disebut harga dan didagangkan di Bursa Securities.\u201c\nPada 8 Feb, Nationwide mengumumkan bahawa syarikat itu telah menyerahkan permohonan kepada Bursa Securities untuk mendapatkan lanjutan masa hingga 23 Ogos 2022 untuk menyerahkan draf pekeliling pelan penstrukturan semulanya kepada Bursa Securities." "Identiti Bahasa dalam Lirik Karya Loloq\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam sebuah tulisan di media lain, saya pernah mengatakan bahawa lirik karya Allahyarham Loloq telah mendorong para peminat muzik rock tanah air menyemak kamus untuk mencari makna perkataan yang ditulis olehnya dalam lagu-lagu kumpulan muzik beraliran sedemikian, terutamanya kumpulan terkenal, Wings.\nHal ini dikatakan sedemikian kerana Loloq yang mula aktif dalam penciptaan lagu pada tahun 1987 berminat menggunakan perkataan lama dan yang sukar difahami. Oleh sebab kecenderungannya itu juga, bukan peminat muzik rock pun perlu merujuk kamus untuk lebih memahami maksud perkataan berkenaan.\nAntara perkataan lama yang digunakan oleh Loloq dalam lirik ciptaannya termasuklah perkataan seperti dalam gita kama untuk lagu \u201cDi Ambang Wati\u201d, dendangan Wings. Dalam \u201cMentera Semerah Padi\u201d, Loloq menulis belikat punggungku dan kugentas bersama. Seterusnya, tanji gelora dalam lirik lagu \u201cAda\u201d; sabitah untuk \u201cAndalusia\u201d; serta yuda dan wilmana dalam \u201cLanggam Pak Dogo\u201d \u2013 kesemuanya nyanyian Datuk M. Nasir.\nKeakrabannya dengan M.Nasir juga menghasilkan lirik lain yang sangat diminati ramai seperti \u201cBonda\u201d (Nasir), \u201cGhazal untuk Rabiah\u201d (Nasir berduet dengan Dato\u2019 Jamal Abdillah), dan \u201cLagu Jiwa Lagu Cinta\u201d (Nasir berduet dengan Mawi).\nSangat menarik dan istimewa apabila Loloq turut diminta menulis lirik bagi anak perempuan terakhir M. Nasir dengan Allahyarham Junainah Johari, iaitu Nur Nilam Sari. Lagu yang berjudul serupa itu didendangkan oleh Awie dan Search. Sementara itu, asmara kejar-mengejar dalam lirik \u201cDi Ambang Wati\u201d merupakan metafora yang menarik untuk menunjukkan ketidaktentuan dalam perhubungan cinta sepasang kekasih.\nLoloq atau nama sebenarnya, Rosli Khamis merupakan penulis lirik terkemuka tanah air yang sering bergandingan dengan M.Nasir dalam penciptaan lagu. Mula berkarya ketika berusia 27 tahun, Loloq juga biasa menggunakan nama pena Nurbisa.\nKehidupan awal Loloq terumbang-ambing. Dari Singapura, dia sendirian berkelana ke Kuala Lumpur ketika berusia 23 tahun. Allahyarham pernah terlibat dengan penyalahgunaan dadah selama enam tahun, menjadi pengikut ajaran tasawuf, dan \u201ckutu rayau\u201d. Walau bagaimanapun, perjalanan Loloq bagaikan menemui paksinya apabila bertemu dengan M. Nasir dan Amy Search di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Ketika itu, dia yang menganggur dengan beraninya memujuk M. Nasir dan Amy agar menggunakan lirik ciptaannya untuk dimuatkan dalam album mereka.\nBarangkali memang telah takdirnya menjadi penulis lirik, karya Loloq diterima oleh M. Nasir. Mulai tahun 1990, Loloq menjadi penulis lirik eksklusif di syarikat rakaman Luncai Emas Sdn. Bhd., kepunyaan seniman serba boleh itu.\nSepanjang kerjayanya sehingga ke akhir hayat, Loloq telah menghasilkan 500 buah lirik lagu yang 90 peratus \u201cmeletup\u201d, dan dinyanyikan oleh artis popular. Antara lirik untuk lagu dendangan Wings yang diminati ramai selain \u201cDi Ambang Wati\u201d ialah \u201cKau Bukan Brader\u201d, \u201cAwang Trasher\u201d, dan \u201cBiru Mata Hitamku\u201d. Untuk kumpulan Search, Loloq menulis lirik \u201cAnalog 0.1\u201d, \u201cAsli dan Tulus\u201d, \u201cLaila Namamu Teratas\u201d, \u201cNeo Romantik\u201d, dan \u201cZen-Bikin Wilayah\u201d.\nPenyanyi rock wanita unggul tanah air, Ella juga pernah mendapat lirik karya Loloq, iaitu \u201cLayar Impian\u201d. Demikian juga dengan kumpulan rock terkenal, XPDC untuk lagu \u201cKita Peng-Yu\u201d, dan Allahyarham Saleem menerusi \u201cRatu Sanubari\u201d. Spider, kumpulan rock yang bernaung di bawah Luncai Emas juga banyak mendapat lirik lagu Loloq. Antara yang popular termasuklah \u201cLaukku Cukup Masin\u201d, \u201cKasih Latifah\u201d, \u201cCinta Dewa-Dewi\u201d, \u201cAladin\u201d, dan \u201cKacap Terlabik\u201d. \u201cGemuruh\u201d pula nyanyian oleh gabungan Search dan Wings yang mengisi sebuah album projek khas.\nSelain itu, Loloq menulis lirik \u201cAwan yang Terpilu\u201d nyanyian Ning Baizura, \u201cSerasi Bersama\u201d untuk Nurul dan Ajai, \u201cBila Bulan Berwarna Biru\u201d untuk Arab dan Aidit, \u201cDari Kekasih Kepada Kekasih\u201d, \u201cSamba Apa Saja\u201d dan \u201cBerikan Nurbisa\u201d untuk Dato\u2019 Hattan, \u201cSembunyi\u201d untuk Misha Omar dan Andy Flop Poppy, \u201cNafas Cahaya\u201d untuk Misha Omar, \u201cLagu Cenderawasih\u201d untuk kumpulan Kris, \u201cCinta Sakti\u201d untuk kumpulan Def Geb C, dan \u201cPercayakan Siti\u201d untuk kumpulan Exists.\nSemasa hayatnya, Loloq pernah menerima beberapa anugerah besar hasil penulisan liriknya yang kreatif dan bermutu tinggi hingga mampu mengangkat irama menjadi lagu yang dapat diterima pendengar. Antaranya termasuklah Anugerah Penulis Lirik Terunggul, dan royalti tertinggi daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Malaysia Berhad (MACP) ke-11, menerusi lagu \u201cCinta Dewa Dewi\u201d. Lagu itu menjulang namanya sebagai Penulis Lirik Terunggul selama lima tahun berturut-turut.\nAllahyarham turut menerima Anugerah Lirik Nasyid pada majlis Anugerah Juara Nasyid Minggu Ini 2006, dan Anugerah Galakan Penulis Lirik, di Anugerah Citra Wangsa Malaysia 2005. Yang paling manis, Loloq turut menerima Anugerah Khas dalam Anugerah Planet Muzik 2007, yang diadakan di negara kelahirannya, Singapura.\nAda kawan rapat Loloq yang berpendapat bahawa antara faktor kekuatan lirik\u00a0 Allahyarham mungkin kerana sikapnya yang rajin membaca buku. Loloq memang kuat membaca atau \u201cpenagih buku\u201d. Wangnya habis di kedai buku terpakai di Jalan Bangsar, atau di susur buku lambak yang dijual di celah-celah tangga di sepanjang bangunan di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Pada era 90-an, buku-buku hebat dunia dijual di celah-celah tangga.\nSelain itu, Loloq memang banyak idea, suka meraikan perbezaan dan semua perkara serius boleh diuruskannya menjadi jenaka. Allahyarham \u201cpakar\u201d mengkomikkan idea dalam perbualan, malah bijak mencipta satira spontan. \u00a0Lirik terakhir yang dicipta oleh Loloq sebelum jatuh sakit, dan meninggal dunia pada 30 Januari 2008 ialah \u201cAngkasawan\u201d, nyanyian kumpulan Butterfly.\nAllahyarham meninggal dunia setelah empat hari terlantar di Hospital Pakar Damansara akibat pendarahan otak. Loloq menjalani pembedahan di kepala pada 29 Januari 2008 selepas mengalami pendarahan serius di kepalanya. Terlalu banyak kandungan karbon dioksida di dalam paru-paru merosakkan keseluruhan sistem dalaman badannya. Loloq menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya, dan tiga orang sahabat. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Sungai Buloh selepas solat Asar.\nSelain menulis lirik, Loloq juga berbakat dalam lakonan. Antara filem yang pernah dibintanginya termasuklah Sara (2001), Embun (2002), Lang Buana (2003), Man Laksa (2006), Zombi Kampung Pisang (2007), dan Orang Minyak (2008), serta beberapa buah drama televisyen, seperti telemovie Orang Kasar, yang turut dibintangi oleh Eman Manan, dan telefilem Neon. Allahyarham juga pernah beraksi di pentas teater, iaitu Bukit Kepong arahan Othman Ghani, dan drama sitkom Awie Record.\nLoloq juga terbabit dalam menulis skrip filem Aduh Saliha, yang judul asalnya, Misteri Mimpi Syakila, arahan M.Nasir. Walau bagaimanapun, filem tersebut tidak dapat disiapkan hingga kini. Selain itu, Allahyarham juga pernah menjadi penterjemah skrip siri animasi Kampung Boy, karya Datuk Lat." "Kenaikan Harga Keluli Disebabkan oleh Permintaan Besar Pasca Pandemik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kenaikan harga batang keluli sekarang\u00a0 berpunca daripada permintaan kukuh hasil daripada pemulihan ekonomi global dan kenaikan harga bahan mentah, terutamanya sekerap, bijih besi dan arang kok yang disebabkan oleh bekalan terhad dan gangguan rantaian bekalan global.\nPersekutuan Industri Besi & Keluli Malaysia dan Persatuan Keluli Malaysia menyatakan bahawa kenaikan kos bahan mentah dan kos menjalankan perniagaan (seperti utiliti, pengangkutan, dan lain-lain) mempunyai kesan yang besar terhadap harga keluli. \u201cTrajektori harga keluli domestik menjejaki arah aliran harga antarabangsa. \u201cOleh itu, pengeluar bar keluli domestik tidak mempunyai kawalan ke atas harga keluli kerana harga keluli domestik tertakluk kepada dinamik bekalan dan permintaan global.\u201d\n\u201cPengguna batang keluli, seperti kontraktor dan pemaju perumahan, boleh mengimport batang keluli pada sifar duti import tanpa memerlukan AP (Permit Kebenaran).\u201cSelain itu, produk keluli hanya menyumbang kira-kira 2% hingga 4% daripada jumlah kos projek perumahan.\u201d\u00a0Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi terhadap laporan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) mengenai kesan kenaikan harga bahan binaan.\nMenurut Tinjauan Industri Hartanah Rehda untuk Separuh Kedua 2021 dan Tinjauan Pasaran 2022, kos keseluruhan operasi perniagaan responden telah meningkat sebanyak 18%. Tinjauan mendapati aluminium menduduki tempat pertama dengan 55%, diikuti oleh kayu dengan 52% dan keluli dengan 38%. Bahan binaan lain seperti simen, pasir dan konkrit telah menyaksikan kenaikan harga antara 16% hingga 19%.\n\u201cKami ingin mengulangi kenyataan Menteri Kerja Raya Kanan, Dato\u2019 Sri Fadillah Yusof pada 28 Okt 2021 bahawa indeks kos bahan binaan adalah antara 3% dan 19% di seluruh negara berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, yang berpunca daripada kesan COVID-19 dan kenaikan harga pasaran global. \u201cKementerian juga menyatakan bahawa kenaikan harga bahan binaan seperti pasir dan besi tetulang berbeza mengikut lokasi.\u201c" "Harga Minyak Global Turun 1% Berikutan Gencatan Senjata UAE dan Houthi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNew York \u2013 Harga minyak jatuh pada permulaan perdagangan Asia pada Ahad selepas Emiriah Arab Bersatu dan kumpulan Houthi yang bersekutu dengan Iran menyambut baik gencatan senjata yang akan menghentikan operasi ketenteraan di sempadan Saudi-Yaman bagi mengurangkan beberapa kebimbangan mengenai kemungkinan isu berkaitan bekalan minyak dunia.\nKerugian awal minggu ini berlaku selepas harga minyak turun sekitar 13% minggu lepas yang merupakan kejatuhan mingguan terbesar dalam dua tahun apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan pengeluaran rizab minyak A.S. yang terbesar. Menurut Reuters, niaga hadapan minyak mentah Brent turun AS$1.01, atau 1%, kepada AS$103.38 setong menjelang 2223 GMT. Niaga hadapan minyak mentah WTI turun 84 sen, atau 0.9%, kepada AS$98.43 setong.\nEmiriah Arab Bersatu (UAE) telah mengalu-alukan pengumuman gencatan senjata yang diusahakan oleh PBB di Yaman. Kumpulan Houthi yang bersekutu dengan Iran telah memerangi tentera pakatan termasuk UAE di Yaman turut mengalu-alukan gencatan senjata itu. Gencatan senjata di seluruh negara merupakan yang pertama selama bertahun-tahun dalam konflik tujuh tahun Yaman dan akan membenarkan import bahan api ke kawasan yang dikuasai Houthi dan beberapa penerbangan beroperasi dari lapangan terbang Sanaa, kata utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada hari Jumaat.\n\u201cIni adalah ancaman terhadap pembekalan minyak mentah, dan gencatan senjata ini akan mengurangkan ancaman tersebut,\u201c kata Phil Flynn, penganalisis di Price Futures Group.\nPeserta pasaran bimbang terhadap bekalan global sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada akhir Februari. Sekatan yang dikenakan ke atas Rusia atas pencerobohan itu mengganggu bekalan minyak dan mendorong harga minyak kepada hampir AS$140 setong, tertinggi dalam kira-kira 14 tahun.\nPada Khamis lalu, Biden mengumumkan pelepasan 1 juta tong sehari (bpd) minyak mentah selama enam bulan mulai Mei, yang pada 180 juta tong merupakan pelepasan terbesar pernah daripada Rizab Petroleum Strategik AS (SPR). Pada Jumaat pula, negara anggota Agensi Tenaga Antarabangsa menyatakan komitmen untuk satu lagi pelepasan minyak yang diselaraskan dalam mesyuarat luar biasa, menurut kementerian industri Jepun.\nNamun, \u201capabila anda melihat pelepasan dari SPR, masih terdapat banyak persoalan tentang bagaimana mereka akan mendapatkan semua minyak itu dari sana, \u201c kata Flynn. \u201cKita perlu tunggu dan lihat.\u201c Sementara itu, gergasi tenaga milik negara Rusia Gazprom berkata pada hari Ahad bahawa ia terus membekalkan gas asli ke Eropah melalui Ukraine sejajar dengan permintaan daripada pengguna Eropah." "Harga Runcit Produk Petroleum dari 7 April 2022 hingga 13 April 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBerdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula\u00a0Automatic Pricing Mechanism, harga runcit produk petroleum bagi tempoh 7 April 2022 Hingga 13 April 2022 adalah ditetapkan seperti berikut:\nBagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan, seperti mana yang dapat dilihat pada harga runcit petrol RON97 yang ditetapkan mengikut harga pasaran.\nKerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara." "Pemulihan Ekonomi Sepenuhnya Kekal Tidak Menentu Walaupun Sentimen Keyakinan Perniagaan Meningkat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Sentimen perniagaan dalam suku pertama 2022 dijangka positif di tengah-tengah pembukaan semula ekonomi negara tetapi pemulihan sepenuhnya masih kekal tidak menentu. demikian menurut satu kaji selidik bersama. Menurut kaji selidik Indeks Keyakinan Perniagaan RAM Holdings Bhd (RAM) dan CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) bagi suku pertama 2022, keseluruhan indeks mencatatkan bacaan 55.4 yang merupakan sentimen positif, berbanding lima suku sebelumnya semasa tempoh pandemik yang mana bacaan berada di bawah 40.\n\u201cFirma-firma yang dikaji selidik kebanyakannya paling yakin dengan prospek jualan dan pengambilan pekerja, seperti yang dilihat dalam sub-indeks yang meningkat masing-masing kepada 60.2 dan 60.7. \u201cJumlah firma yang menyatakan kelemahan ekonomi sebagai cabaran utama turun kepada 50% daripada lebih 80% dalam tempoh yang sama tahun lepas.\u201c Menurut kenyataan itu, dapatan daripada pengurus kredit CTO turut selaras dengan kaji selidik bersama itu yang menunjukkan petunjuk perniagaan mula meningkatkan operasi dan produktiviti.\nBagaimanapun, kenyataan itu menyatakan permintaan masih belum normal sepenuhnya kerana pandemik telah mengubah tabiat penggunaan dan kapasiti dijangka kekal berkurangan. Kaji selidik bersama itu yang disertai 140 responden mendapati kira-kira 55% daripada firma masih belum pulih ke paras seperti sebelum COVID-19, terutamanya dalam sektor perkhidmatan perniagaan (62%) serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat kecil (60%).\n\u201cKebanyakan firma ini menjangkakan pemulihan penuh hanya bermula dari tahun 2023 dan seterusnya. Sebaliknya hanya 125 responden, terutamanya daripada firma korporat besar berkata perniagaan telah melepasi paras seperti sebelum pandemik. \u201cSyarikat korporat besar dijangka mendapat manfaat daripada lantunan semula yang ketara dalam jualan eksport tahun lepas susulan sokongan permintaan luaran yang kukuh.\u201c\u00a0Selain itu, 62% daripada firma yang dikaji selidik menyatakan peningkatan kos menjalankan perniagaan sebagai satu daripada faktor yang membantutkan pemulihan penuh, menjadikannya kebimbangan terbesar pada suku ini dengan kos input bahan mentah dan pekerja yang tinggi terutamanya bagi firma pembuatan.\nKenyataan itu memuktamadkan bahawa PKS dan perusahaan mikro masih ketinggalan di belakang syarikat korporat dalam perjalanan menuju pemulihan dan meskipuan peralihan Malaysia ke fasa pandemik mungkin meningkatkan prospek, disebabkan oleh mereka terpaksa berdepan dengan peningkatan kos dan kekurangan buruh yang akan menjejaskan margin. \u201cBank-bank perlu memastikan PKS dibiayai secukupnya semasa fasa pemulihan. Penggubal dasar perlu terus melibat urus dengan firma-firma yang rentan dan menangani keperluan khusus meraka bagi memastikan pemulihan yang pantas dan seragam daripada pandemik.\u201c" "MAG Sasar Kapasiti Pesawat Meningkat 15% Bulan Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti pesawatnya sebanyak 15% selain daripada 20% pada tahap pasca-COVID-19 yang diunjurkan bagi bulan ini susulan pembukaan semula sempadan negara.\nKetua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail menyatakan bahawa kumpulan syarikat penerbangan itu menyasarkan kapasiti terbabit mencecah paras 70% berbanding tahap kapasiti sebelum COVID-19.\nMAG merupakan syarikat induk bagi syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines Bhd.\nBeliau menambah MAG menyasarkan kapasiti itu mencecah 80% seiring dengan aliran peningkatan permintaan (penerbangan masuk) dari India, United Kingdom dan Eropah.\n\u201cUnjuran kami terhadap pertengahan tahun ini adalah menggalakkan dan sudah pasti (faktor) konflik di Eropah, impak kenaikan harga minyak memberi kesan, namun dari segi pergerakan, keadaan sangat menggalakkan.\n\u201cPerniagaan kami di peringkat domestik sama seperti yang dialami oleh pesaing lain di Malaysia. Kami turut melihat faktor beban muatan yang amat tinggi antara Sabah dan Sarawak,\u201c katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia Airlines Bhd dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Menurut Izham, kumpulan itu turut menyaksikan peningkatan tempahan sejak beberapa minggu lepas susulan pengumuman mengenai pembukaan semula sempadan bermula 1 April 2022.\nSementara itu, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Aididah Ibrahim menyatakan bahawa\u00a0 MoU tersebut bertujuan mempromosi serta memasarkan produk kraf tempatan menerusi inisiatif yang dapat memberi manfaat kepada usahawan kraf dan juga pelanggan syarikat penerbangan nasional melalui platform digital Malaysia Airline, JOURNIFY.\n\u201cJOURNIFY merupakan platform e-dagang yang dibangunkan oleh Malaysia Airline untuk kemudahan pelancong mencari lokasi beli-belah, tempat makan, lawatan serta lain-lain info menarik di Malaysia.\n\u201cKraftangan Malaysia menerusi Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn Bhd telah menyertai aplikasi JOURNIFY ini bermula 22 Februari 2022 dan sehingga kini sebanyak 63 unit produk kraf telah dimuat naik untuk dipromosi dan dipasarkan.\u201c\u00a0Menurutnya, produk kraf itu merangkumi tekstil, hasil rimba, hasil logam, hasil tanah dan aneka kraf yang meliputi fesyen dan aksesori, hiasan rumah, cenderahati korporat dan produk pelancongan. Beliau menambah lagi\u00a0jumlah tersebut akan ditambah secara berperingkat sehingga mencapai sasaran yang telah dipersetujui bersama sebanyak 100 unit." "Margin Penapisan Asia akan Terus Menggalakkan pada Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Moody\u2019s Investors Service (Moody\u2019s) menyatakan bahawa margin penapisan Asia akan terus menggalakkan pada tahun 2022 berikutan sekatan pergerakan yang dilonggarkan meningkatkan permintaan untuk bahan api pengangkutan manakala kadar penggunaan untuk bahan api di Asia dari Eropah telah meningkat disebabkan sekatan antarabangsa ke atas Rusia.\nPenganalisis Moody\u2019s, Hui Ting Sim menyatakan bahawa permintaan yang tinggi untuk bahan api pengangkutan di tengah-tengah kekurangan bekalan akan memacu margin penapisan walaupun harga minyak mentah melonjak baru-baru ini meningkatkan kos bahan mentah. \u201cPendapatan syarikat penapis akan meningkat pada tahun ini berikutan margin penapisan yang menggalakkan dan keuntungan inventori daripada harga minyak yang tinggi. \u201cBagaimanapun, pertumbuhan pendapatan akan dibendung oleh kos utiliti yang tinggi, kos pengangkutan dan premium kepada minyak mentah.\u201c\nAgensi penarafan kredit itu menambah sekatan antarabangsa ke atas Rusia memberikan impak yang terhad kepada operasi syarikat penapis di Asia yang diberikan penarafan berikutan mereka mendapat sebahagian besar daripada minyak mentah mereka daripada pengeluar minyak mentah Timur Tengah melalui perjanjian pembelian jangka panjang.\nSementara itu, agensi itu turut menjangkakan pendapatan atau aliran tunai syarikat penapisan dan pemasaran di India dan Indonesia akan merosot pada tahun ini berikutan kawalan harga dan mereka menghadapi cabaran untuk memindahkan kos bahan mentah sepenuhnya kepada pengguna. \u201cBagaimanapun, kemerosotan dalam metrik kredit syarikat penapisan dan pemasaran milik kerajaan di negara tersebut akan ditampung dalam profil kredit semasa mereka.\u201c Bagi Singapura, katanya margin penapisan republik itu berada pada purata US$4 setong dalam tempoh 12 bulan lepas dan menjangka margin akan terus menggalakkan pada US$4-US$6 setong dalam jangka sederhana.\nAgensi penarafan kredit itu turut menjangkakan aliran keluar modal kerja syarikat penapis akan meningkat pada tahun 2022 berikutan harga minyak mentah yang tinggi. \u201cOleh itu, penjanaan aliran tunai syarikat penapis di Asia akan dihadkan walaupun harga minyak mentah yang tinggi meningkatkan pendapatan mereka berikutan keuntungan inventori pada tahun ini. \u201cAliran keluar modal kerja akan menjadi tinggi untuk syarikat penapis di Asia yang diberi mandat oleh kerajaan mereka untuk menyimpan rizab minyak.\u201c" "Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan dan Peranti Rokok Elektronik 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya\u00a0 \u2013 Sebagai Kementerian yang menerajui pendayaupayaan dan perlindungan pengguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa berusaha untuk mengkaji dan membangunkan perundangan baharu berkenaan standard\nkeselamatan barangan pengguna.\nPerkara ini selaras dengan peruntukan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perihal Dagangan 2011.\nSehubungan dengan itu, Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan dan Peranti Rokok Elektronik 2022 telah diwartakan pada 5 April 2022 dan berkuatkuasa pada 4 Julai 2022 bagi pelitup muka bukan perubatan dan 3 Ogos 2022 bagi peranti rokok elektronik. Walau bagaimanapun, mengambil kira maklum balas daripada umum,\nKementerian akan menangguhkan penguatkuasaan Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan ke 1 Januari 2023.\nTujuan pewartaan ini adalah untuk memastikan pelitup muka bukan perubatan dan peranti rokok elektronik yang dihasilkan dalam negara atau diimport mempunyai penandaan MS SIRIM, mematuhi standard dan berkualiti, demi keselamatan pengguna.\nUsaha ini juga diambil bagi meningkatkan perlindungan dan keselamatan pengguna melalui pembudayaan standard\nserta mengatasi masalah lambakan barangan sub-standard dalam pasaran tempatan.\nPematuhan perintah ini adalah diwajibkan ke atas pengilang dan pengimport bagi kedua-dua produk ini dengan membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn.Bhd. selaku Pihak Berkuasa Yang Berwibawa dilantik oleh KPDNHEP.\nProses pewartaaan ini yang telah bermula sejak 2018 untuk peranti rokok elektronik dan 2020 untuk pelitup muka bukan perubatan dibentangkan dan diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 Mac 2022, selepas melalui pelbagai proses libat urus yang dikendalikan oleh Bahagian Standard Kepenggunaan (BSK) KPDNHEP bersama pemain industri, Jabatan Standard Malaysia (JSM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Regulatory Impact Analysis (RIA) di Perbadanan Produktiviti Malaysia bagi mendapatkan ulasan awam (public comment) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan nasihat perundangan.\nKedua-dua perintah ini juga telah dibentangkan kepada\nJawatankuasa World Trade Organization TBT (Technical Barrier to Trade) yang berpangkalan di Geneva, Switzerland bagi mendapatkan ulasan daripada 164 buah negara anggota WTO dan tidak mendapat bantahan.\nDalam Majlis Amanat Bersama Pihak Industri Sempena Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan dan Peranti Rokok Elektronik 2022 yang diadakan pada hari ini, sebanyak 130 orang yang terdiri daripada pengilang, pengimport, persatuan pelitup muka bukan perubatan, dan wakil-wakil agensi hadir bagi sesi taklimat kandungan kedua-dua perintah secara terperinci.\nTindakan penguatkuasaan boleh diambil oleh Kementerian sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pengilang dan pengimport seperti berikut:\ni. Syarikat: didenda tidak melebihi RM 200,000.00. Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM500 000.00\nii. Individu: (pengeluar/pengimport): didenda tidak melebihi RM100 000.00 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM250 000.00 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.\nPewartaan ini merupakan inisiatif Kerajaan atas semangat Keluarga Malaysia bagi menjaga kesejahteraan rakyat dan melindungi kepentingan pengguna. KPDNHEP berharap isu lambakan pelitup muka bukan perubatan dan Peranti Rokok Elektronik yang tidak berkualiti dalam pasaran Malaysia akan dapat diatasi dengan pematuhan standard oleh pengilang dan\npengimport.\nSelain pelitup muka bukan perubatan dan peranti rokok elektronik, KPDNHEP melalui Bahagian Standard Kepenggunaan (BSK) juga turut mengawal selia penandaan keselamatan bagi enam produk pengguna yang lain, iaitu tayar pnuematik kereta (tayar yang diisi dengan angin), pelapik\nbrek gantian kereta, kaca keselamatan kenderaan, topi keledar motosikal, mainan kanak-kanak dan bateri primer (bateri yang tidak boleh dicas semula)." "Anak Syarikat TNB Kemuka Program Sukuk Wakalah kepada SC\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Anak syarikat Tenaga Nasional Bhd (TNB), TNB Power Generation Sdn Bhd (TPGSB) mengemukakan Program Sukuk Wakalah bernilai sehingga RM10 bilion kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). TNB dalam makluman kepada Bursa Malaysia menyatakan bahawa program sukuk wakalah itu akan memberikan TPGSB fleksibiliti untuk menentukan masa pelaksanaan penjanaan dana dengan nilai nominal dan tempoh yang berbeza-beza bagi padanan aset-liabiliti yang optimum.\n\u201cProgram sukuk wakalah itu akan mempunyai tempoh 30 tahun daripada tarikh terbitan pertama Sukuk Wakalah di bawah program sukuk wakalah yang akan dibuat dalam masa 90 hari perniagaan daripada tarikh pengemukaan kepada SC (atau tarikh lanjutan lain yang diluluskan oleh SC). \u201cTempoh setiap sukuk wakalah yang akan diterbitkan di bawah program sukuk wakalah adalah antara satu tahun dan sehingga 30 tahun dengan syarat tiada sukuk wakalah akan matang selepas tamat tempoh pogram sukuk wakalah.\u201c\nTNB menyatakan bahawa program itu juga akan membolehkan TPGSB mengakses kumpulan pelabur yang pelbagai dalam pasaran modal dan membiayai projek yang layak yang memenuhi kriteria ditetapkan dalam Rangka Kerja Sukuk Kelestarian TPGSB dalam menyokong aspirasi TNB ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.\nCIMB Investment Bank Bhd dan Maybank Investment Bank Bhd merupakan penasihat prinsipal bersama, penyusun utama bersama dan penasihat rangka kerja kelestarian bersama bagi terbitan pertama Sukuk Wakalah yang akan diterbitkan di bawah program sukuk wakalah. Sementara itu, CIMB Islamic Bank Bhd sN Maybank Islamic Bhd merupakan penasihat Syariah bersama bagi program sukuk wakalah." "Malaysia Airlines Sasar Jualan RM100 Juta Bersempena dengan MATTA Fair\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Malaysia Airlines Berhad menyasarkan jualan RM100 juta untuk tiket penerbangan sepanjang kempen MATTA Fair yang akan berlangsung bermula\u00c2\u00a0 dari 8 hingga 17 April 2022. Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan dan Pengalaman Pelanggan Malaysia Airlines, Lau Yin May menyatakan bahawa sasaran itu akan didorong oleh jualan daripada destinasi popular seperti London, Australia, Kuching dan Kota Kinabalu.\nBeliau juga menambah sasaran itu dapat dicapai susulan daripada kejayaan penganjuran Malaysia Airlines Travel Fare (MATF) yang berakhir pada 4 April lalu yang menyaksikan tiket penerbangan yang paling laris ialah Kuching, Kota Kinabalu dan London. \u201cSasaran jualan RM100 juta ini sememangnya sangat tinggi tetapi kami percaya ia mampu dicapai dan jika tidak berjaya tidak mengapa, kerana kami sudah semakin menghampiri sasaran itu.\u201c\nMATTA Fair akan berlangsung secara dalam talian bermula dari 8 April hingga 17 April 2022 dan secara fizikal selama dua hari bermula dari 9 hingga 10 April 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. Beliau menyatakan bahawa Malaysia Airlines akan menawarkan diskaun sehingga 45% bagi destinasi domestik dan antarabangsa terpilih. Bagi penerbangan Firefly, pengembara berpeluang menikmati potongan harga sehingga 50% apabila membuat tempahan menerusi aplikasi mudah alih atau laman webnya bermula 7 hingga 10 April ini untuk perjalanan bermula dari 14 April hingga 29 Oktober 2022." "Subsidi Tol Kerajaan Boleh Dijimatkan untuk Perbelanjaan Lain\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Cadangan penstrukturan semula daripada empat pemegang konsesi lebuh raya di Lembah Klang akan membolehkan kerajaan menjimatkan sekurang-kurangnya RM4.3 bilion dalam subsidi tol yang\u00c2\u00a0 boleh dipakai untuk perbelanjaan pembangunan yang mendesak dan kritikal termasuk menambah baik infrastruktur asas di negara ini.\nTimbalan Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Bhd, Mohammed Rashdan Mohd Yusof menyatakan bahawa penjimatan ini kemudiannya boleh dibelanjakan bagi perbelanjaan pembangunan yang penting termasuklah infrastruktur asas yang akan meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia.\nBeliau menjelaskan bahawa Gamuda masih mempertimbangkan dan membincangkan tawaran daripada Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR), dan akan mengumumkan keputusannya mengenai tawaran ALR secara serta-merta selepas lembaga kumpulan membuat keputusan mengenainya. \u201cIndustri tol telah bersifat agak kompleks untuk beberapa waktu, cuba mencari penyelesaian yang sesuai bagi meringankan beban kerajaan untuk membayar subsidi tol setiap tahun. Usaha menyelesaikan keadaan ini adalah sesuatu yang sangat sukar, hinggalah semalam.\u201c" "Mengapakah Menolak \u201cPagar\u201d dan Memomokkan \u201cPegar?\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTelah berlaku momokan dalam masyarakat umum di Malaysia bahawa, \u201cHarapkan pegar, pegar makan padi\u201d merupakan peribahasa yang betul \u2013 bukannya, \u201cHarapkan pagar, pagar makan padi.\u201d Momokan daripada sejumlah orang yang berpendirian demikian kerana mereka beranggapan bahawa telah berlaku kesilapan dalam tulisan Jawi semasa menulis perkataan \u201cpegar\u201d. Yang sepatutnya ditulis ialah huruf (\u064a) yang mewakili huruf \u201ce\u201d bukannya huruf (\u0627) yang mewakili huruf \u201ca\u201d dalam tulisan Rumi. Maka, pada tanggapan mereka, kesilapan yang berlaku selama ratusan tahun dalam masyarakat Melayu tradisional hingga terbawa dalam masyarakat Melayu moden itu harus dibetulkan. Maka, mereka membetulkannya.\nLebih menarik lagi kerana ada juga yang berhujah bahawa \u201cpagar\u201d merupakan objek atau benda mati yang dibuat untuk membatasi kawasan rumah, kebun, sawah dan lain-lain. Tujuannya adalah untuk menyatakan perenggan tanahnya, mengelakkan daripada haiwan peliharaan seperti lembu, kambing dan ayam memakan tumbuh-tumbuhan yang ditanam atau menghalang haiwan liar seperti babi daripada merosakkannya. Sebagai benda mati, maka pagar tidak boleh memakan padi. Yang boleh memakan padi ialah \u201cpegar\u201d (sejenis ayam atau burung dengan ciri fizikalnya memiliki ekor yang lebih panjang).\nKesilapan ejaan pada tulisan Jawi dan hujah yang berdasarkan logik bahasa dengan ertinya yang selapis itu sebagai alat komunikasi dalam urusan kehidupan sehari-hari telah berupaya mempengaruhi sejumlah orang untuk menerimanya sebagai munasabah. Justeru, sejumlah orang dalam masyarakat moden lebih yakin menyebut dan menulis, \u201cHarapkan pegar, pegar makan padi\u201d daripada menggunakan, \u201cHarapkan pagar, pagar makan padi\u201d. Bertolak daripada keyakinan itulah mereka menyebarkan, \u201cHarapkan pegar, pegar makan padi\u201d kepada masyarakat. Dengan demikian, ada kemungkinan penyebarannya akan lebih meluas lagi pada masa hadapan.\nDengan melupakan seketika kemungkinan itu, kita melihat mereka yang menyebarkannya dalam sebutan dan dalam tulisan agak kurang akrab dengan perumpamaan dan peribahasa. Perkenalan mereka dengan kedua-duanya berlaku secara samar-samar \u2013 kurang memesrai, menghayati dan memahaminya. Dalam suasana perasaan dan fikiran itulah mereka menitikberatkan diksi, mahu menggunakan \u201cpegar\u201d bagi menggantikan \u201cpagar\u201d dengan alasan yang artifisial. Keghairahan ini membangunkan tembok penghalang dalam minda mereka daripada melihat sifat-sifat peribahasa sebagai susunan kata yang pendek dan kekal menjadi percakapan orang Melayu semenjak beberapa lama disebabkan oleh sedap dan bijak kata-katanya, luas dan benar tujuannya \u2013 menjadi sebut-sebutan sebagai bandingan, teladan dan pengajaran. Tergolong dalam sifat-sifat peribahasa yang dinyatakan itu ialah perumpamaan, bidalan, pepatah dan perbilangan dengan setiap satunya mempunyai sifatnya yang tersendiri \u00a0(Safian Hussain et.al, 1988: 247).\n\u201cHarapkan pagar-pagar makan padi\u201d ialah peribahasa yang tergolong dalam jenis perumpamaan yang tidak menyebutkan kata pembandingnya. Perumpamaan lain dalam jenis ini termasuklah \u201cTidak lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah ia\u201d, \u201cHilang kemarau setahun oleh hujan sehari\u201d, \u201cDiam-diam ubi berisi, diam-diam besi berkarat\u201d, \u201cKukur apa kepada kukur, nyiur juga yang binasa\u201d, \u201cUlar berlingkar di gulungan tikar\u201d, \u201cAda gula ada semut\u201d dan \u201cMati semut kerana gula\u201d.\u00a0 Perumpamaan yang menyebutkan kata pembandingnya, iaitu \u201cmacam\u201d, \u201cibarat\u201d \u201cseperti\u201d, \u201cumpama\u201d, \u201cbagai\u201d dan \u201claksana\u201d termasuklah \u201cMacam anjing dengan kucing\u201d, \u201cIbarat gunting makan di hujung\u201d, \u201cSeperti lebah, mulut membawa madu, ekor membawa sengat\u201d, \u201cUmpama kayu lempung, belum ditolak condong sendiri\u201d, \u201cBagai anjing dengan bayang \u201d dan \u201cLaksana bunga dedap, merah ada berbau tidak\u201d.\nSama ada perumpamaan itu tidak menyebutkan kata pembandingnya mahupun menyebutkannya, semua perumpamaan terdiri daripada bahasa kiasan \u2013 sesuatu perkara dikiaskan kepada perkara lain dengan tujuan untuk memisalkan dan menerangkan maksud. Dengan ini, perumpamaan dalam susunan katanya yang pendek mengandungi makna dua lapis (Safian Hussain et.al, 1988: 250). Lapis pertamanya menyatakan sesuatu perkara secara zahir atau secara tersurat. Pada lapis ini, susunan katanya yang pendek mungkin kelihatan janggal, malah kehilangan makna. Pada lapis keduanya, maknanya berlainan daripada makna pada lapis yang pertama. Makna sebenar yang hendak disampaikan atau makna tersiratnya berada dalam lapisan ini. Dengan ini, perumpamaan yang tergolong sebagai peribahasa dan berasal daripada puisi lisan mempunyai persamaan dengan pernyataan Riffaterre (1978:1) bahawa puisi menyatakan sesuatu perkara dan memaksudkan perkara lain.\n\u201cHarapkan pagar, pagar makan padi\u201d memiliki sifat yang dinyatakan itu. Susunan katanya yang pendek kelihatan janggal bunyinya, malah hampir tidak dapat diberi makna dalam pengertian yang selapis. Janggal kerana orang moden makin jauh daripada perumpamaan tradisional dan jauh daripada unsur-unsur bahasa puisi. Oleh sebab itulah mereka tidak dapat menerima \u201cpagar makan padi\u201d sebagai pernyataan yang dapat diterima oleh akal yang rasional. Rasionalnya ialah \u201cpegar makan padi\u201d. Pertimbangan ini mengurangkan kesedaran mereka bahawa \u201cpagar makan padi\u201d merupakan kiasan yang bersifat personifikasi. \u201cPagar\u201d sebagai objek mati telah diberi tindak tanduk atau perlakuan manusia. Maka, \u201cpagar\u201d dalam perumpamaan, \u201cHarapkan pagar, pagar makan padi\u201d merupakan kiasan kepada seseorang bagi menerangkan bahawa seseorang yang benar-benar dipercayai telah diberikan tanggungjawab untuk menjaga sesuatu daripada dirosakkan oleh orang lain. Ironisnya kerana orang yang dipercayai dan dipertanggungjawabkan itulah yang merosakkannya.\nMakna pada lapis kedua pada perumpamaan, \u201cHarapkan pagar, pagar makan padi\u201d itu dapat ditujukan kepada sesiapa sahaja yang melakukan sesuatu tindakan yang bersifat ironis \u2013 bertentangan antara harapan yang diberikan kepadanya dengan realiti yang diperlihatkannya. Makna bukan sahaja bersifat ironis tetapi dapat diperluaskan lagi dengan kebenarannya yang sentiasa relevan dalam sepanjang sejarah hidup manusia Melayu dan manusia secara umumnya. Maka, \u201cHarapkan pagar, pagar makan padi\u201d \u00a0bersifat universal \u2013 \u201cTak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas\u201d.\nSusunan kata yang pendek dan padat pada perumpamaan, \u201cHarapkan pagar, pagar makan padi\u201d merupakan komposisi yang mempertimbangkan kedudukan kata yang dipilih, unsur bunyi yang menimbulkan keindahan sebagai dasar estetikanya dan maknanya. Komposisi ini mengisyaratkan bahawa perumpamaan ini terhasil daripada penelitian yang cermat dan tajam daripada orang yang bijaksana pada zaman tradisional. Alam sekeliling yang menjadi latar kehidupan mereka dengan flora dan faunanya dengan sifat dan tabiatnya sering juga dilihatnya mempunyai persamaan dengan sifat dan tabiat manusia. Oleh sebab itulah sifat dan tabiat flora dan fauna di Alam Melayu sering dijadikan perumpamaan atau kiasan. Tujuannya adalah untuk memberikan petua, nasihat atau petunjuk sebagai peraturan tatatertib, tatasusila dalam pergaulan dan hubungan sesama manusia (Abdullah Hussain, 1997: xi).\nSiratan makna pada perumpamaan, \u201cHarapkan pagar, pagar makan padi\u201d dan makna pada perumpamaan lain juga tidak berubah \u2013 sejak perumpamaan dicipta dan makna disirat. Tidak berubah atau maknanya tekal pada sesuatu perumpamaan itu kerana masyarakat secara konvensinya telah bersepakat menerimanya. Dengan makna yang telah disepakati itu, perumpamaan turut menjadi alat komunikasi puitis dalam kalangan masyarakat. Sekiranya makna berubah-ubah, masyarakat akan menjadi keliru dan komunikasi tidak dapat berjalan lancar. Bermacam-macam perkara yang tidak diingini akan berlaku dalam kalangan masyarakat jika makna yang disepakati itu diubah, sekali gus mengeruhkan keharmonian hidup bermasyarakat.\nPerumpamaan ialah peribahasa yang berteraskan perbandingan atau kiasan yang mengandungi dua lapis makna. Maka, bahasa yang bersifat perbandingan tetapi bererti selapis, tidak dapat dinamakan sebagai perumpamaan. \u201cSeperti wajah Yus, wajah perempuan itu\u201d merupakan perbandingan tetapi bukan kiasan. Kelas kata yang dibandingkan itu terdiri daripada kelas kata yang sama, iaitu manusia. Maknanya juga selapis kerana ertinya sebagaimana yang telah disuratkan.\n\u201cHarapkan pegar, pegar makan padi\u201d merupakan momokan yang tidak menggambarkan pengungkapan daripada orang bijak pada zaman silam, tidak menjadi percakapan dan sebut-sebutan anggota masyarakat sebagai bandingan untuk tujuan teladan dan pengajaran. Mana mungkin mereka yang arif tentang ternakan yang memakan padi\u00a0 akan mengharapkan ayam menjaga padi. Sudah tentu ayam akan memakan padi kerana padi memang makanannya. Demikian juga mana mungkin orang yang dikenal pasti sifat dan tabiat buruknya yang suka merosakkan sesuatu akan diberikan kepercayaan dan tanggungjawab supaya menjaga sesuatu itu agar tidak rosak. Tentu sahaja orang itu akan merosakkannya. Oleh itu, tidak terdapat nasihat atau petunjuk sebagai peraturan tatatertib, tatasusila dalam pergaulan dan hubungan sesama manusia pada \u201cHarapkan pegar,pegar makan padi\u201d.\nSesiapa sahaja bebas untuk mengangkat \u201cpegar\u201d bukannya \u201cpagar\u201d dengan alasan kesilapan ejaan huruf berlaku dalam tulisan Jawi. Orang boleh terus berhujah bahawa pagar tidak dapat memakan padi. Yang dapat memakan padi ialah \u201cpegar\u201d. Namun begitu, sekiranya seseorang itu hendak membicarakan \u201cHarapkan pegar, pegar makan padi\u201d sebagai perumpamaan atau peribahasa, maka sifat khas perumpamaan dan sifat umum pada peribahasa\u00a0 harus dibicarakan terlebih dahulu dan menemukan cirinya pada \u201cHarapkan pegar, pegar makan padi.\u201d Menggolongkannya sebagai perumpamaan secara khususnya dan peribahasa secara umumnya dengan dua hujah tersebut bukan sahaja menafikan kegeniusan masyarakat Melayu tradisional, tetapi memancarkan gambaran sebaliknya tentang penegak \u201cHarapkan pegar, pegar makan padi\u201d." "RHB Raih Lima Anugerah di GBAF\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0RHB Banking Group meraih lima anugerah di Anugerah Perbankan Kewangan Global (GBAF) Ke-11, termasuk beberapa kemenangan berturut-turut atas tumpuannya kepada inovasi digital dalam penyelesaian perbendaharaannya serta produk dan perkhidmatan perbankan perniagaan dan pertukaran asing (FX).\nMenurut kumpulan perbankan itu, anuegerah yang dimenangi ialah\u00a0 \u201cBest Multi-Currency Account Malaysia 2022\u201c untuk tahun ketiga berturut-turut, \u201cBest Forex Bank Malaysia 2022\u201c dan \u201cBest Banking Product RHB Live [email\u00a0protected]\u201c untuk tahun kedua berturut-turut serta \u201cBest Islamic Forex Bank Malaysia 2022\u201c dan \u201cBest Islamic Multi Currency Account Malaysia 2022\u201c. \u201cKumpulan diiktiraf atas komitmen dan usahanya dalam memberikan penyelesaian yang berteraskan pelanggan yang menyeluruh dan inovatif.\u201c\nBendahari Kumpulan RHB Banking,\u00a0 Angus Salim Amran menyatakan bahawa RHB akan terus memberi tumpuan kepada membangunkan penyelesaian dan produk perbendaharaan inovatif yang memenangi anugerah dan dapat memenuhi keperluan perniagaan dan gaya hidup pelanggan, memanfaatkan keupayaan digital ke arah memberikan pengalaman perkhidmatan yang mudah, lancar dan selamat.\nGBAF mengiktiraf kecemerlangan dalam komuniti kewangan global dalam pelbagai perkhidmatan, termasuk pertukaran asing, perbankan, insurans, dana lindung nilai, kewangan Islam, dana dagangan bursa dan teknologi." "Tempahan Promosi Tempat Duduk Percuma AirAsia bermula 9-17 April\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Genting Berhad Mencari Peluang Pelaburan Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "TAIKUN MUDA: Mahasiswa Budayakan Keusahawanan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nYAB Perdana Menteri Dato\u2019 Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru usahawan agar menguasai pelbagai teknologi baharu khususnya pendigitalan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus perdana. Menurut beliau, segenap rangkaian ekonomi kini berdepan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang membawa pelbagai teknologi baharu.\u00a0 \u201cMyDIGITAL\u201d adalah satu inisiatif yang mencerminkan aspirasi kerajaan mentransformasikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi, berpacukan pendigitalan dan sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital. Oleh yang demikian, pendedahan kepada mahasiswa berkaitan dunia keusahawanan adalah amat digalakkan memandangkan golongan ini amat menguasai kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.\nBaru-baru ini, program TV realiti MOHE STAR BIZ CHALLENGE: TAIKUN MUDA yang julung kalinya telah diadakan berjaya menarik seramai 89 penyertaan daripada 38 buah IPT seluruh negara dan hanya 11 orang finalis dari 9 buah IPT telah dipilih bagi berentap merebut 4 hadiah utama. Penganjuran program TAIKUN MUDA ini turut menjadi manifestasi Kementerian dalam memperkukuhkan lagi agenda keusahawanan di IPT dengan mempromosikan keusahawanan sebagai antara pilihan terbaik pelajar dan graduan untuk menjana pendapatan. Program ini adalah untuk membuka peluang kepada usahawan pelajar menonjolkan diri melalui idea-idea segar, kreatif dan inovatif dan menjadi usahawan berjaya pada masa hadapan. Peserta akan dibimbing oleh usahawan berjaya tentang ilmu perniagaan dan dana Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah menganjurkan Program Keusahawanan: Reality Show MoHE Star Biz Challenge-Taikun Muda. Tayangan program ini telah disiarkan menerusi TV ALHIJRAH pada setiap hari Rabu jam 9.30 malam selama enam minggu bermula 23 Februari. Manakala Episod awal Kapsul Taikun Muda sebanyak empat (4) episod disiarkan di saluran Youtube UMK TV, Facebook UMK dan Facebook TV Alhijrah.\nAcara kemuncak pada 30 Mac 2022, program yang disiarkan secara langsung menerusi rakan media saluran TV Alhijrah dari Dewan Eksprimental, UMK tersebut telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi yang turut menyampaikan hadiah serta sijil dan trofi kepada para pemenang. Muhammad Faizal Ruhaijat dari UPSI telah dinobatkan sebagai juara sulung pertandingan tersebut yang turut menyampaikan hadiah serta sijil dan trofi kepada para pemenang semalam. Muhammad Faizal yang telah membentangkan cadangan produk Kimono Cardigan Inspired by Batik Malaysia itu telah menerima hadiah utama iaitu geran keusahawanan bernilai RM50,000, manakala pemenang tempat kedua iaitu saudari Adlina Jamaluddin dari UPM dengan produk Teh Tarik Tudya-SR, turut menerima geran keusahawanan berjumlah RM20,00.00. Untuk tempat ketiga, pelajar dari UM iaitu saudara Shafiq Ramiyani dengan persembahan produk Akifcafe telah membawa pulang wang tunai RM2,500 serta sebuah motosikal, dan hadiah tempat keempat iaitu wang tunai RM1,500 juga sebuah motosikal telah dimenangi oleh saudara Muhammad Yazid Abdul Mutalib dari UPNM yang membentangkan idea aplikasi TUKANG.\nTiga anugerah khas lain turut disediakan oleh penaja iaitu Anugerah Most Innovative Award dimenangi oleh Muhammad Farisfahmi Mamat dari UMK, hadiah Most Versatile Award diberikan kepada Nur Huda Hamka dari Universiti Malaysia Sarawak dan Anugerah Most Outstanding Award dimenangi oleh Muhammad Qais Amiri Jamalludin dari Kolej Komuniti Kuala Langat. Hadiah telah disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UMK, Tan Sri Hj. Mohamad Fatmi Bin Hj. Che Salleh. Manakala panel juri profesional terdiri dari Tuan Haji Mohd Nazri Chik, Ketua Pegawai Rangkuman Kewangan Kumpulan, Bank Islam Malaysia Berhad, YBhg. Dato\u2019 Seri (Dr.) Michael Tio, Ketua Pegawai Eksekutif, PKT Logistics Group Sdn. Bhd., Prof. Dr. Nik Maheran dan Puan Zuraini Binti Hasanuddin, Ketua Pegawai Eksekutif, Geo Artha International (M) Sdn. Bhd.\nProgram Rancangan Realiti TV MOHE Star Biz Challenge-Taikun Muda telah mendapat tajaan dari Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) selaku penaja utama dan rakan strategik lain yang turut menyokong program ini iaitu Ain Medicare Sdn. Bhd, Gas Pantai Timur Sdn. Bhd, PKT Logistics Sdn Bhd, Zakaria Sulaiman Hardware Sdn Bhd (Tukang Mart), Risha Wave, Docnan Industries Sdn. Bhd., Hotel Perdana Kuala Lumpur City Centre, Ridel Boutique Hotel, dan Hotel H Elite Design. Seramai 11 peserta finalis dipilih mewakili UMK, UNISZA, UNIMAS, UPSI, UKM, UM, UPM, UIAM, UPNM, dan Kolej Komuniti Kuala Langat dan semua peserta ini terlibat dalam rakaman enam (6) episod rancangan realiti keusahawanan Taikun Muda.\nTurut hadir YBhg. Dato\u2019 Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, TKSU (Dasar) KPT, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UMK, Tan Sri Hj. Mohamad Fatmi bin Hj. Che Salleh, Naib Canselor UMK, Profesor Dr Razli bin Che Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad, Encik Mohd Muazzam bin Mohamed, Naib-naib Canselor universiti awam, Pengarah-pengarah Pusat Keusahawanan IPT dan tetamu kehormat yang lain." "Teliti Kos dan faedah Jika Ada Hasrat Selamatkan Sapura Energy\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "ePemula: Bernilai RM300 Juta Pendaftaran Mulai 11 April 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDi bawah Belanjawan 2022, kerajaan\u00a0 memperuntukkan RM300 juta bagi e-tunai bernilai RM150.00 di bawah program ePemula untuk belia dari 18 tahun hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi tempatan yang layak.\nMulai 11 April 2022, golongan ini boleh mula mendaftar untuk menerima RM150 dalam bentuk kredit e-tunai\u00a0dengan salah satu daripada\u00a0empat (4) penyedia perkhidmatan e-tunai iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch \u2018n Go eWallet.\u00a0Program ePemula ini juga akan dilancarkan secara rasmi oleh YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia pada 15 April 2022.\nSelain dari RM150.00 dalam bentuk kredit e-tunai daripada Kerajaan, penyedia perkhidmatan e-tunai iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay, dan Touch \u2018n Go eWallet\u00a0juga akan memberi insentif tambahan dalam bentuk cashback, baucar, mata terkumpul atau coins sepanjang tempoh program ini.\nProgram ePemula ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang:\nTempoh pendaftaran dan tuntutan ePemula ini akan bermula dari 11 April 2022 hingga 1 Jun 2022, manakala kredit ePemula serta manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-tunai tersebut boleh dibelanjakan sehingga 10 Jun 2022." "Moody\u2019s Kekalkan Prospek Stabil pada Sistem Perbankan APAC,\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Tiada Syarat Lengkap Dos Imunisasi COVID-19 untuk Terima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 yang diumumkan oleh Kerajaan pada 5 April 2022 adalah untuk semua kakitangan awam dan pesara yang layak, termasuklah mereka yang tidak mendapat dos imunisasi COVID-19 yang lengkap.\nSusulan itu, saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) supaya membatalkan Perkara 6 (VI) dalam pekeliling Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 bertarikh 8 April 2022. Walau bagaimanapun, perkara-perkara lain dalam pekeliling tersebut masih terpakai.\nPengumuman awal oleh saya sebelum ini tidak pernah menyatakan sebarang pengecualian bayaran kepada mana-mana penjawat awam mengikut status vaksinasi. Ini bagi memastikan bahawa tidak ada penjawat awam atau pesara yang layak menerima bantuan ini daripada tercicir.\nBiarpun tidak diwajibkan, kerajaan menyeru\u00a0 seluruh Keluarga Malaysia untuk melengkapkan dos suntikan imunisasi COVID-19 demi kesejahteraan bersama." "Scomi perlu Kemuka Rayuan kepada Bursa Malaysia untuk Elak Nyahsenarai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Pokok Guarana (Paullinia cupana) Dilarang Import ke Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Jabatan Pertanian Malaysia dimaklumkan oleh Ministry of Agriculture Livestock and Food Supply (MAPA) Brazil, melalui surat OF\u00cdCIO N\u00ba5/2020/DSV/SDA/MAPA bertarikh 8 Januari 2020 bahawa negara Brazil hanya membenarkan pengeksportan buah guarana bagi tujuan pemprosesan dan makanan manusia sahaja.\nLarangan ini termaktub di bawah Undang-undang Brazil; Law No. 13,123 / 15, May 20, 2015 (Access and Benefits Sharing of Genetic Resources and Associated Traditional Knowledge) yang Kerajaan Malaysia, jabatan, agensi, manamana syarikat atau individu yang menanam guarana adalah berisiko dikenakan tindakan perundangan oleh Kerajaan Brazil sekiranya tanaman ini dibiakkan dan dikomersialkan. Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan tindakan amaran, sita dan penalti sehingga R$10 juta Real Brazil (RM 7.7 juta).\nBerdasarkan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981, pengimportan tumbuhan dari negara berisiko tinggi yang endemik kepada penyakit South American Leaf Blight (SALB), iaitu oleh kulat Microcyclus ulei (syn. Pseudocercospora ulei) kepada tanaman Hevea adalah dilarang. Guarana atau nama saintifiknya Paullinia cupana (juga P.crysan, P.sorbilis; Keluarga: Sapindaceae) merupakan tanaman herba semula jadi di Lembah Amazon, terutamanya di Brazil.\nLembah Amazon juga merupakan kawasan penanaman getah dengan insiden serangan penyakit Hawar Daun Amerika Selatan (South American Leaf Blight, SALB) yang amat tinggi. Spora SALB yang menjangkiti tanaman getah akan menyebabkan pertumbuhan pokok getah terbantut dan tidak dapat mengeluarkan hasil yang produktif.\nKeadaan ini boleh melumpuhkan industri getah negara yang mempunyai nilai eksport berjumlah RM71 bilion setahun menurut Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK).\u00a0 Penyakit ini mengakibatkan kegagalan industri getah di negara Brazil dan negara-negara SALB yang lain seperti Colombia, Costa Rica, Surinam dan Panama.\nBerikutan larangan pengimportan guarana bagi tujuan penanaman oleh negara Brazil dan impak negatifnya kepada industri getah negara, Jabatan Pertanian tidak pernah membenarkan petani atau usahawan melaksanakan projek penanaman guarana untuk dikomersialkan di negara ini. Hal ini demikian kerana sumber benih guarana yang dibawa masuk ke dalam negara ini secara haram untuk dikomersialkan adalah tidak sah dari sudut perundangan negara berdasarkan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981 serta larangan pengimportan guarana bagi tujuan penanaman yang dikenakan oleh Brazil.\nPenanaman guarana di Malaysia adalah berisiko membawa penyakit baharu lain seperti Colletotrichum guaranicola yang hanya dilaporkan menyerang spesis guarana. Maklumat mengenai penyakit C. guaranicola adalah terhad dan akan menyukarkan kawalan dilakukan sekiranya serangan berlaku di Malaysia.\nSelain itu, penyakit ini turut menyerang tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran seperti betik, pisang, mangga, cili dan secara tidak langsung boleh melumpuhkan industri agromakanan." "Kesatuan dalam Kepelbagaian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2212 Sastera kebangsaan perlu berteraskan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu. Demikianlah hasil persetujuan bersama oleh semua panel yang terlibat dalam program Bicara Bahasa dan Sastera Kebangsaan Siri 3.\nBicara yang menutup tirai tahun 2021 ini diterajui oleh Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai moderator turut menampilkan panel hebat seperti Tan Sri Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, Dr. Krishanan Ramalingam dan Dato\u2019 Goh Hin San.\nProgram yang bersiaran secara langsung pada pagi tadi menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP membicarakan topik yang bertajuk \u201cBahasa dan Sastera Kebangsaan Milik Bersama\u201d.\nSebagai rakyat Malaysia, setiap warga juga perlu menghormati dan meraikan karya yang ditulis dalam bahasa kaum bukan Melayu, misalnya Cina, lndia dan etnik lain di Sabah dan Sarawak. Karya-karya ini boleh diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu agar dapat dinikmati oleh semua kaum. Kandungan karya-karya bukan Melayu ini juga hendaklah mengangkat latar dan cerita tentang Malaysia.\nSehubungan dengan itu, hasrat dan usaha ini tidak mampu dilakukan oleh satu pihak sahaja. Pihak swasta juga perlu memainkan peranan dengan cara membantu membiayai kerja-kerja menterjemahkan karya-karya berkenaan. Secara tidak langsung, rakyat pelbagai kaum di negara ini dapat disatukan melalui medium sastera." "Angkasa Bawa Semangat Baharu Sektor Koperasi jika Dapat Lesen Bank Digital\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Harga Runcit Produk Petroleum dari 14 April 2022 hingga 20 April 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBerdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula\u00a0Automatic Pricing Mechanism,\u00a0harga runcit produk petroleum bagi tempoh 14 April 2022 hingga 20 April 2022 adalah ditetapkan seperti berikut:\nBagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, Kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan, seperti mana yang dapat dilihat pada harga runcit petrol RON97 yang ditetapkan mengikut harga pasaran.\nKerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara." "Bekalan Minyak Sawit Malaysia Mencukupi untuk AS dan EU\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Premis Menjual Peranti Teknologi Penstriman Diserbu Penguat Kuasa KPDNHEP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya\u00a0 \u2013 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan\nHal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)\u00a0 melakukan serbuan ke atas tiga premis berasingan yang terletak di dalam sebuah pusat membeli-belah di Klang, Selangor yang menjual alat teknologi penstriman (android box) pada 11 April 2022.\nSerbuan yang bermula pada jam 12.00 tengah hari dengan kekuatan sebanyak 15 anggota penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya dilakukan hasil maklumat pemilik hak cipta yang berkaitan serta risikan yang dilakukan oleh pihak KPDNHEP selama dua minggu.\nHasil pemeriksaan lanjut ke atas tiga premis terbabit, pihak\nKPDNHEP telah merampas sebanyak 25 unit alat teknologi penstriman berserta dokumen yang berkaitan dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 8,567.00.\nPasukan serbuan juga\u00a0 bertindak menahan sebanyak tiga\u00a0 orang lelaki warganegara tempatan berumur antara 39 tahun hingga 44 tahun untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 43AA Akta Hak Cipta 1987, iaitu melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya dengan menjual teknologi penstriman.\nJika disabitkan kesalahan mereka boleh didenda tidak kurang\ndaripada RM 10 000.00 dan tidak melebihi RM 200 000.00 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.\nKPDNHEP\u00a0 menambahbaik Akta Hak Cipta 1987 melalui pindaan kepada Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang telah berkuatkuasa mulai 18 Mac 2022 lalu. Akta ini memberikan penekanan dalam usaha membanteras pelanggaran hak cipta secara dalam talian atau cetak rompak digital. Antara perubahan besar dalam pindaan ini adalah peruntukan baharu\ndi bawah seksyen 43AA yang memperuntukan kesalahan berhubung dengan penggunaan teknologi penstriman yang melanggar hak cipta dan peruntukan di bawah perenggan 41(1)(k), iaitu kesalahan menyediakan atau berkongsi akses apa-apa karya atau salinan karya tanpa kebenaran secaradalam talian.\nKPDNHEP ingin mengingatkan\u00a0 semua peniaga supaya tidak menjual alat teknologi penstriman seumpama ini dan tindakan\npenguatkuasaan dan pemantauan yang berterusan akan dilakukan oleh KPDNHEP kerana alat teknologi penstriman ini berupaya melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya hak cipta yang dilindungi." "Kemudahan Prosedur Pendaftaran Perniagaan Asing Tarik Banyak Pelabur Luar Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Sektor perdagangan pengedaran dan sektor perkhidmatan yang tidak dikawal selia merupakan antara penyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).\nKedua-dua sektor ini juga memainkan peranan penting kepada pemulihan ekonomi negara, terutamanya dalam membantu aktiviti perniagaan sampingan agar terus berkembang kukuh dan mampan.\nSebagai sebuah kementerian yang mengawal selia syarikat\nberkepentingan asing menjalankan perdagangan pengedaran di Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa berusaha menarik minat pelaburan asing dalam sektor perdagangan dan pengedaran yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.\nMerealisasikan konsep \u201cEase of Doing Business\u201d, IR4.0 dan\ndigitalisasi, prosedur permohonan untuk syarikat asing menjalankan perniagaan di Malaysia telah ditambah baik dengan melaksanakan permohonan secara dalam talian melalui Business Licensing Electronic Support System (BLESS) 2.0.\nPermohonan melalui sistem BLESS 2.0 ini dilihat\u00a0 mempermudah proses permohonan syarikat dan sekali gus\nmenarik minat lebih banyak pelabur asing untuk membuka lebih banyak cawangan perniagaan dalam negara.\nSistem ini juga mampu menampung dan mempercepat proses\npermohonan yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.\nDari tahun 2020 hingga tahun 2021, KPDNHEP\u00a0 menerima sebanyak 1280 permohonan daripada 573 buah syarikat asing untuk menjalankan perniagaan dalam sektor perdagangan pengedaran di Malaysia. Perniagaan mereka meliputi peruncitan, pengedaran, makanan dan minuman (Food and Beverages).\nJumlah kumulatif modal berbayar yang dibawa masuk oleh syarikatsyarikat asing pada tahun tersebut adalah sebanyak RM11.383 bilion dengan 33 123 peluang pekerjaan diwujudkan dalam pasaran tempatan.\nBagi sektor perkhidmatan tidak dikawal selia seperti syarikat perunding, ejen logistik, ejen hartanah dan perkhidmatan pembaikan mesin dan peralatan, kementerian ini meluluskan sebanyak 87 permohonan daripada 149 permohonan daripada syarikat asing pada tahun 2020 dan\ntahun 2021. Jumlah keseluruhan modal berbayar yang dibawa masuk oleh syarikat asing pada tahun tersebut adalah sebanyak RM828.84 juta.\nSepanjang tempoh ini juga, kementerian meluluskan permohonan syarikat asing daripada 31 buah negara untuk menjalankan perniagaan dalam sektor perkhidmatan tidak dikawal selia. Syarikat dari negara Jepun merupakan syarikat yang paling banyak diluluskan untuk menjalankan perniagaan dalam sektor ini, iaitu sebanyak 132 syarikat diikuti\noleh syarikat dari negara Singapura (70 syarikat), United Kingdom (46 buah syarikat), Korea Selatan (38 buah syarikat) dan Australia (19 buah syarikat).\nSecara keseluruhannya, walaupun negara turut menerima impak penurunan ekonomi daripada kesan pandemik COVID-19, Malaysia tetap menarik pelbagai syarikat asing, khususnya syarikat pemborongan peralatan industri untuk terus melabur di negara ini.\nSelaras dengan hasrat kerajaan, KPDNHEP akan terus komited\u00a0 membantu memudahcarakan proses permohonan supaya dapat menarik minat lebih ramai pelaburan asing yang berkualiti di bawah sektor ini untuk membuka perniagaan di Malaysia." "Duit Syiling Peringatan 50 Tahun Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPuchong\u00a0 \u2013 Menteri Pertanian dan Industri Makanan, YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, telah melancarkan Duit Syiling Peringatan 50 Tahun Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Wisma LKIM, Pulau Meranti, Puchong. Turut hadir dalam majlis pelancaran ini, Datuk Haslina Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Pengerusi LKIM, Encik Yusoff bin Othman, Ketua Pengarah LKIM dan Wakil Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu Encik Abu Hassan Alshari Yahaya, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia.\n\u00a0\nDuit Syiling 50 Tahun LKIM ini telah direka bentuk dan diterbitkan secara eksklusif oleh Bank Negara Malaysia khusus untuk LKIM bersempena dengan sambutan Jubli Emas 50 Tahun LKIM pada 1 November 2021.\nKonsep utama duit syiling ini adalah daripada gabungan warna dan kesan khas tiga imensi (3D) yang memberikan penekanan kepada warna biru laut sebagai gambaran bahawa laut adalah lubuk peluang, tempat yang menjadi sumber rezeki kepada para nelayan. Kelihatan juga ukiran seorang nelayan sedang menarik pukatnya yang sarat dengan ikan segar, mencerminkan kehebatan tahap kemahiran dan pengalamannya.\nSelain mengetengahkan elemen utama yang berkait rapat dengan industriperikanan, syiling ini juga turut mempunyai ukiran khas \u201c50 Tahun Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia\u201d. Ukiran ini disifatkan sebagai peristiwa penting bagi memperingati Sambutan 50 Tahun yang pastinya penuh sejarah sejak organisasi ini ditubuhkan pada tahun 1971, sebagai sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.\nPada bahagian belakang, kelihatan juga ukiran nama \u201cBank Negara Malaysia\u201d, iaitu penerbit rasmi yang mengeluarkan duit syiling numismatic ini. Duit syiling ini dilengkapkan dengan logo rasmi berwarna, \u201c50 Jubli Emas 1971\u20132021\u201c pada bahagian tengahnya. Ukiran nilai muka \u201c10 Ringgit\u201d di sudut bahagian bawah syiling turut dipaparkan membawa maksud nilai denominator bagi duit syiling tersebut Terdapat juga ukiran abstrak ombak yang memberi maksud cabaran dan peluang yang dihadapi oleh LKIM dalam memartabatkan industri perikanan di Malaysia.\nMenurut BNM, maklumat lanjut mengenai cara pembelian dan tarikh penjualan akan dimaklumkan oleh BNM melalui laman sesawangnya. Dr.\u00a0 Ronald berkata duit syiling ini adalah manifestasi atas pencapaian dan kejayaan lima abad penubuhan LKIM berteraskan pada sifat dedikasi, kerja kuat dan kesungguhan kerjasama\u00a0 antara para nelayan dengan LKIM bagi memastikan pembangunan industri perikanan bergerak senada dan efisyen.\n\u201cKerajaan melalui LKIM sentiasa memainkan peranan yang penting dan berkesan dalam menjaga kebajikan serta terus memperbaiki kedudukan sosioekonomi dan mengurangkan bebanan nelayan,\u201d kata Dr. Ronald.\nSelain itu, kerajaan melalui Pembentangan Belanjawan 2022 mengumumkan inisiatif padanan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) oleh PERKESO dengan pembiayaan sebanyak 80%, termasuklah sektor perikanan.\nDi bawah inisiatif ini, nelayan hanya perlu membayar baki 20% caruman, iaitu sebanyak RM46.60 sahaja melalui potongan ESHN dan layak menerima kenaikan kadar faedah yang lebih tinggi daripada pelan pertama yang terdahulu.\nTambah beliau, kerajaan melalui MAFI dan LKIM akan terus memastikan kebajikan semua golongan sasar terutama keluarga nelayan sentiasa terbela serta memastikan\nkelangsungan dan kelancaran rantaian bekalan makanan terjamin.\nMAFI melalui agensinya LKIM telah dan akan sentiasa memainkan peranan yang penting dan berkesan sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kebajikan, memperbaik kedudukan sosio-ekonomi nelayan dengan penumpuan kepada peningkatan pendapatan dan memajukan perusahaan perikanan negara serta memastikan bekalan ikan mencukupi di seluruh negara." "UMW Toyota Motor Catat Jualan 22 447 Unit Kenderaan untuk Suku Pertama 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "BigPay Dipilih sebagai Rakan e-dompet Inisiatif ePemula\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBigPay kekal komited terhadap misinya untuk memacu kesejahteraan kewangan dalam kalangan segmen yang kurang mendapat perkhidmatan melalui penyertaannya dalam ePemula. \u201cKami berbesar hati menjadi sebahagian daripada inisiatif ePemula untuk menggalakkan pembayaran tanpa tunai oleh pengguna dan peniaga serta pada masa yang sama, membantu pemulihan pasca-COVID-19 Malaysia. \u201cPandemik ini telah menunjukkan bahawa pembayaran digital tidak boleh dinafikan lagi adalah jalan ke hadapan dan merupakan penggerak yang hebat untuk menggalakkan golongan muda Malaysia menyokong perniagaan tempatan dan berbelanja secara digital.\u201c" "MIDF Research Kekalkan Unjuran Pertumbuhan IPP pada 4.3% bagi Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "AirAsia Teleport Perkukuh Kedudukan Tawar Pelanggan Perkhidmatan Kargo Khusus\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Munsyi Muda Bahasa Memperkasakan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cSetiap kementerian diminta melantik Munsyi Muda Bahasa bagi memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan,\u201d kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman. Pernyataan daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam ini adalah susulan teguran daripada Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob ketika merasmikan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021, di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia, agar semua pihak mengutamakan penggunaan bahasa Melayu terutamanya dalam majlis rasmi yang diadakan oleh agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta.\nTerdahulu daripada itu, tokoh bahasa Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, kerap kali menyatakan bahawa tahap penguasaan bahasa Melayu terutamanya dalam dokumen rasmi kerajaan mesti diberi perhatian dan perlunya usaha untuk meningkatkan tahap kepekaan serta jati diri penjawat awam terhadap bahasa Melayu. Hassan Baseri Budiman (2017) pula melihat isu ini disebabkan oleh jumlah agensi kerajaan dan kemudahan awam yang telah banyak diswastakan dan menyebabkan keterpinggiran bahasa Melayu itu sendiri.\nPada tahun 2019 pula, satu resolusi daripada Kluster Pendidikan Kongres Maruah Melayu telah meminta pihak kerajaan agar mengambil tindakan tegas bagi memastikan bahasa Melayu digunakan di semua peringkat dalam pentadbiran kerajaan. Rentetan daripada hal itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah melakukan pemantauan dari semasa ke semasa dan mendapati bahawa nama program di majlis rasmi kerajaan masih lagi menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.\nNamun begitu, menurut Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran (2021), tidak dinafikan bahawa terdapat majlis rasmi yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan dan menggunakan bahasa asing atau bercampur. Dalam pada itu, beliau menggesa agar sektor perkhidmatan awam melaksanakan dan memastikan penggunaan bahasa Melayu secara menyeluruh dalam semua urusan rasmi sama ada bertulis mahupun secara lisan.\nSuatu kajian yang telah dilakukan oleh Junaini Kasdan, Nor Suhaila Che Pa dan Mohd Syamril Aklmar Che Kassim (2015) terhadap penguasaan bahasa Melayu penjawat Awam di Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) mendapati bahawa penguasaan bahasa Melayu penjawat awam di universiti tersebut berada pada tahap sederhana namun memerlukan perhatian khusus terutamanya dalam penulisan e-mel rasmi.\nHasil dapatan menemui e-mel yang dihantar bersifat monoton, kurang bervariasi dan wujudnya kesalahan bahasa yang berulang seperti pada ejaan, frasa, atau imbuhan dan penguasaan kosa kata yang lemah dalam bahasa Melayu serta e-mel tersebut digunakan semula dan diedarkan oleh pentadbir berkenaan tanpa menyedari kesalahan tersebut. Walaupun kajian ini tidak diperluas pada semua dokumen rasmi kerajaan dan perkhidmatan awam tetapi kajian ini boleh dijadikan sebagai penanda aras untuk mengenal pasti permasalahan yang berlaku.\nPembentukan Munsyi Muda Bahasa di jabatan dan agensi kerajaan yang selari dengan strategi kelima, rangka Pelan Tindakan Program Kebahasaan Jawatankuasa Kecil Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan 2015-2017, iaitu mewujudkan Unit Khas Pelaksanaan Bahasa bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu yang baik, betul dan santun serta mahir dalam bidang kebahasaan dalam kalangan penjawat awam dilihat sebagai suatu usaha serius oleh pihak kerajaan untuk memperkasakan bahasa Melayu dan membendung permasalahan ini daripada terus berlaku. Pokok persoalan di sini ialah siapakah Munsyi Muda Bahasa yang dimaksudkan?\nDalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam mendefinisikan Munsyi Muda Bahasa sebagai pegawai yang ditauliahkan oleh Ketua Pengarah DBP dan dilantik oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Dalam kata lain, Munsyi Muda Bahasa ialah penjawat awam yang telah mengikuti Kursus Bahasa Melayu dan melepasi tahap penilaian kefahaman bahasa Melayu oleh DBP.\nSetiap pegawai yang dilantik ditugaskan sebagai Perujuk Bahasa kepada kementerian. Antara tugas Munsyi Muda Bahasa termasuklah menyemak, mengesahkan semua surat, dokumen dan laporan rasmi, mengesahkan aspek bahasa teks ucapan rasmi pengurusan tertinggi sama ada dalam bentuk bercetak mahupun elektronik, merancang kursus kebahasaan kepada staf dan menjadi penceramah asas bahasa untuk kursus induksi bagi staf baharu.\nProduk sinergi DBP dan JPA ini telah meraih kejayaan awal apabila menerima sijil penghargaan daripada Yang Berhormat Dato\u2019 Seri Mahdzir Khalid, mantan Menteri Pendidikan Malaysia pada 2 Mei 2017 sebagai Program Bahasa Berimpak Tinggi 2016, bersempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan. Hal ini membuktikan bahawa program ini berada di landasan yang betul. Namun begitu, pencapaian yang diperoleh bukanlah seperti \u201cyang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang\u201d kerana sebelum itu dan masih berlangsung hingga kini, pelbagai inisiatif dilakukan oleh pihak tertentu untuk membangunkan pengisian program Munsyi Muda Bahasa.\nMisalnya, program anjuran DBP bersama JPA dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) yang mengadakan Kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa yang akan mencapai siri ke-22 pada bulan Mac 2022, Kursus Pemantapan Munsyi Muda Bahasa dan Konvensyen Munsyi Muda Bahasa Perkhidmatan Awam kali pertama pada tahun 2021.\nKursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa ini bertujuan untuk memantapkan pengetahuan dan memberikan ruang kepada setiap peserta berkongsi pendapat tentang isu semasa bahasa Melayu manakala Kursus Pemantapan Munsyi Muda Bahasa ialah kursus susulan yang wajib dihadiri oleh peserta Kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa yang telah melepasi Ujian Pemantapan Bahasa oleh DBP.\nPara peserta yang berjaya menghadiri kursus ini dengan sepenuhnya sahaja yang layak ditauliahkan sebagai Munsyi Muda Bahasa sementara Konvensyen Munsyi Muda Bahasa pula memfokuskan kepada penubuhan Sekretariat Munsyi Muda Bahasa Sektor Awam (SEMUA) Kebangsaan merentas kementerian, jabatan dan agensi. Konvensyen pertama ini telah menghasilkan tujuh resolusi bagi memperkasakan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan awam.\nMaklumat berkenaan Munsyi Muda Bahasa ini boleh dicapai melalui laman web aktif, iaitu https://www.jpa.gov.my/munsyimuda/ dan https://ms-my.facebook.com/munsyimudabahasa. Laman ini turut menyediakan Info Pugar Bahasa dan Peka Bahasa yang menghimpunkan pelbagai khazanah bahasa Melayu seperti peribahasa, simpulan bahasa, penjodoh bilangan, tatabahasa, kosa kata baharu, kata ganda, penanda wacana, kesilapan penggunaan kata sendi nama, penggunaan tanda petik dan informasi umum berkenaan perkembangan bahasa kebangsaan. Maklumat ini sangat penting untuk dijadikan rujukan yang bukan sahaja kepada pihak berkepentingan, bahkan dapat dicapai dengan mudah oleh orang awam bagi mengetahui dan menggunakan bahasa kebangsaan dengan tepat dan betul.\n\nProgram Munsyi Muda Bahasa seakan-akan baru semalam dibentuk tetapi sebenarnya telah diperkenalkan pada tahun 2015 lagi. Justeru itu, program ini perlu diberi perhatian serius dan diberi pengiktirafan yang sewajarnya. Sokongan setiap jabatan dan agensi perkhidmatan awam sangat diperlukan agar pegawai yang dilantik sebagai pemudah cara dapat menjalankan peranannya dalam memperkasakan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan awam. Kejayaan program\u00a0 Munsyi Muda Bahasa ini adalah sebahagian daripada kejayaan bersama dalam memastikan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 sentiasa dipatuhi.\n\u00a0\nProfesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad \u2212 Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia." "Kontraktor Tempatan Berdepan Isu Kenaikan Harga Bahan Mentah dan Kekurangan Pekerja\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nFirma penyelidikan itu menambah kenaikan harga purata barangan mentah juga semakin dirasai dengan batang keluli naik sebanyak 21% dari tahun ke tahun mencecah RM3411.75 bagi satu tan untuk Mac 2022 mengatasi harga tertinggi RM3255 satu tan pada Julai 2021. \u201cKontraktor berkemungkinan akan menyemak semula harga mereka selaras dengan kenaikan harga bahan mentah di dalam tender baharu yang mendorong kepada keperluan modal kerja yang lebih tinggi dan menyebabkan kos pembiayaan lebih tinggi. \u201cKami juga menjangkakan berlakunya kelewatan kemajuan kerja selain kesukaran untuk mendapatkan projek baharu akibat kenaikan kos bahan mentah.\u201c" "Coopmart dan Perasmian Coop Community Mart , Koperasi Pudina Putrajaya Berhad\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 YAB Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob menyempurnakan pelancaran Coopmart dan perasmian Coop Community Mart (CCM) Koperasi Pudina Putrajaya Berhad. Majlis pada hari ini melibatkan kolaborasi dua buah kementerian, iaitu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Kementerian Wilayah (KWP). Turut hadir pada majlis tersebut, YBTan Sri Noh Haji Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan YB Dato\u2019 Seri Dr. Shahidan Kassim, Menteri Wilayah Persekutuan.\n\nMelalui Projek Coop Community Mart (CCM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan kerjasama KWP telah membangunkan kedai koperasi (coopmart) di kawasan Perumahan Rakyat (PPR) danPerumahan Awam di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak bulan Oktober tahun lalu. Bagi menggalakkan penubuhan CCM ini, bantuan infrastruktur dan modal pusingan sebanyak RM130 000.00 diberi oleh SKM dan RM50 000.00 oleh KWP kepada koperasi terpilih sebagai insentif dalam menyokong ekosistem pembangunan perniagaan koperasi yang kondusif dan mampan. Hal ini juga selaras dengan Transformasi Koperasi Malaysia (TRANSKOM) 2021\u20132025 yang dilancarkan sebelum ini.\nDato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan beliau memaklumkan bahawa perolehan tahunan sektor koperasi sebanyak RM41.47 billion dengan kekuatan keluarga koperasi sebanyak 7.04 juta orang merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan. Kerajaan juga mengiktiraf peranan koperasi dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat danpercaya gerakan koperasi berupaya untuk menguasai sebahagian pasaran pemborongan dan peruncitan terutamanya dalam menguasai sistem rantaian nilai bekalan barangan keperluan secara pukal dalam ekosistem gerakan koperasi yang komprehensif dan bersepadu.\nPelancaran Coopmart adalah sebahagian daripada inisiatif Cooperative Strategic Linkages (CSL) yang digerakkan oleh rangkaian koperasi melalui penglibatan pihak SKM, ANGKASA, Federasi Koperasi serta gerakan koperasi bagi membentuk kolaborasi strategik rangkaian pusat pengedaran gerakan koperasi yang akan mendapatkan bekalan barangan secara pukal untuk diedarkan kepada kedai-kedai koperasi di seluruh Malaysia.\nProgram ini juga melibatkan penjenamaan semula kedai koperasi dalam usaha membantu rakyat bagi menangani isu kos sara hidup melalui kuasa beli rakyat yang menjadi pemangkin terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Berdasarkan perangkaan SKM, sejumlah 2581 buah koperasi sektor pemborongan dan peruncitan didaftarkan, dengan perolehan melebihi RM820 juta.\nPada majlis yang sama, turut diadakan penyampaian bantuan CCM sebanyak RM180 000.00 kepada Koperasi Pudina Putrajaya Berhad dan Koperasi Hiliran Ampang Berhad. Selain itu, turut diserahkan bantuan geran penubuhan koperasi berjumlah RM400 000.00 dan bantuan Mapping of Supply Chain (MOSC) di bawah Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi COVID-19 KUSKOP sebanyak RM1.12 juta kepada Federasi Koperasi Pemborongan dan Peruncitan Berhad.\nSkop bantuan ini adalah di bawah inisiatif pendigitalan bertujuan untuk membiayai kos pembangunan Sistem Pengurusan Sektor Pemborongan dan Peruncitan Koperasi terhadap 24 buah pusat pengedaran koperasi (DC/SubDC),termasuklah perkakasan, perisian serta kerja-kerja perkhidmatan.\nProgram pelancaran Coopmart dan perasmian Coop Community Mart yang berlangsung hari ini di Dewan Seri Pudina, Presint 17, Putrajaya turut menarik minat penduduk sekitar melalui jualan harga patut dengan potongan harga barangan asas hingga 70%." "Selangor Catat FDI Lebih Rendah pada Tahun 2021 Akibat Pandemik dan Kelewatan Pertumbuhan Ekonomi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Kenakan Kompaun Maksimum terhadap Serba Dinamik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "MAG Berada di Landasan Tepat untuk Kembali Raih Keuntungan pada Tahun 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "ASEAN Kembali jadi Rakan Dagang Terbesar China\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Pengeluaran Khas Wang KWSP Berfikir sebelum Bertindak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada 16 Mac 2022 lalu, Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri mengumumkan pengeluaran khas wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10 000.00 (maksimum) kepada ahli KWSP di bawah umur 55 tahun. Pengeluaran khas ini adalah yang keempat sejak pandemik COVID-19 melanda negara.\nUsul pengeluaran khas ini diperjuangkan oleh beberapa pihak untuk dibentangkan dalam Belanjawan 2022 pada tahun 2021. Ketika itu, kerajaan berpendapat bahawa tidak ada keperluan bagi pengeluaran tersebut. Tambahan pula, berdasarkan statistik, sebanyak RM101 bilion telah dikeluarkan oleh 7.4 juta orang ahli KWSP menerusi tiga siri pengeluaran.\nPengeluaran tersebut menyaksikan 6.1 juta orang ahli kini mempunyai kurang daripada RM10 000.00 sebagai simpanan persaraan KWSP, yang 3.6 juta daripadanya hanya mempunyai kurang daripada RM1000.00 dalam akaun KWSP.\nPeristiwa banjir sekitar bulan Disember 2021 membangkitkan semula isu pengeluaran khas bagi masyarakat yang terkesan banjir sekali yang turut dihimpit masalah kewangan. Barangkali, inilah faktor utama yang mendorong kerajaan membenarkan pengeluaran khas keempat ini.\nMenteri Kewangan Malaysia, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul\u00a0\u00a0Tengku Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan bahawa dividen KSWP 2021 sepatutnya boleh mencecah sebanyak 6.7%, dan bukan hanya sebanyak 6.1% sekiranya tiada pengeluaran simpanan yang dilakukan.\nDengan pengeluaran khas terbaharu ini, dalam tempoh 14 hari sistem permohonan dibuka, sebanyak 5.3 bilion permohonan bernilai RM40.1 bilion diterima oleh KWSP. Perkara ini mungkin mengakibatkan KWSP terpaksa menjual aset portfolio di \u00a0luar negara yang akan menjejaskan pendapatan pelaburan dalam jangka masa panjang.\nSejujurnya, penulis berpendapat bahawa pengeluaran KWSP ini akan menjadi lebih cekap sekiranya ini dibuat secara bersasar, bukan secara pukal. Hal ini demikian kerana pengeluaran secara bersasar bukan sahaja dapat membantu golongan terkesan, malah turut menjaga kepentingan pencarum KWSP yang tidak membuat pengeluaran. Selain itu, kaedah ini juga dapat mengawal individu yang tidak mempunyai keperluan untuk mengeluarkan wang KWSP daripada berbelanja secara tidak berhemat.\nPengeluaran wang KWSP tanpa pengawasan yang cermat, akan memberikan kesan buruk kepada ahli di bawah umur 55 tahun pada masa akan datang. Negara kita bakal menjadi negara tua menjelang tahun 2044. Maka, rakyat perlu diingatkan tentang kepentingan merancang simpanan persaraan untuk hari tua.\nWarga emas di Malaysia, secara amnya bergantung pada wang pencen atau simpanan KWSP untuk menampung keperluan hidup. Namun, peningkatan jangka hayat individu yang seiring dengan kos sara hidup yang tinggi membuatkan simpanan yang ada berkemungkinan besar tidak mencukupi.\nLiterasi kewangan, khasnya dalam aspek simpanan persaraan adalah sangat penting bagi menangani impak negatif proses penuaan penduduk. Meskipun kehidupan pada usia emas dilihat lebih sederhana, namun perbelanjaan yang besar diperlukan, terutamanya dari aspek kesihatan dan penjagaan. Oleh itu, keputusan individu berhubung dengan pengeluaran wang KWSP ini dilihat sangat kritikal. Bak kata pepatah \u201cAwal dikenal, akhir tidak. Alamat badan akan rosak\u201d.\nSecara keseluruhannya, tindakan kerajaan mengumumkan pengeluaran khas wang KWSP keempat ini harus dihormati. Kita faham akan keperluan mendesak yang dihadapi oleh sesetengah pihak. Namun, pada akhirnya, segala baik dan buruk tindakan pengeluaran itu bergantung pada keputusan individu. Maka, berfikirlah dan bertindaklah dengan bijak!" "Inisiatif Pendigitalan ReDI Diperluas ke Wilayah Persekutuan Labuan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLabuan \u2013 Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna hari ini\u00a0 menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Initiative \u2013 ReDI) di Wilayah Persekutuan Labuan.\nPelancaran ReDI adalah sebahagian daripada pelaksanaan inisiatif pendigitalan sektor perniagaan yang menjadi teras utama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sejak tahun 2020. ReDI\u00a0 dilaksanakan di Putrajaya, Hulu Terengganu, Kapit Sarawak, Pulau Pangkor dan kini di WP Labuan.\nReDI di Labuan dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan\nLabuan dan rakan strategik daripada penyedia e-wallet, iaitu Maybank dan Boost bagi memastikan pemain industri sektor peruncitan sentiasa seiringan dengan perkembangan teknologi digital terutama dalam aspek pembayaran digital tanpa tunai dan tanpa sentuh. Inisiatif ReDI juga mendokong kerangka pelaksanaan MyDIGITAL, Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) RMK-\n12 buah negara bagi sektor peruncitan dalam membantu peniaga melonjakkan semula ekonomi di Fasa Peralihan Endemik ini.\nSejak tahun 2020, Kementerian berpandangan bahawa peniaga perlu didedahkan dan dibantu dalam proses digitalisasi perniagaan sekurangkurangnya melalui penggunaan e-wallet dan e-dagang.Tumpuan utama KPDNHEP\u00a0 ketika ini adalah kepada peniaga pada peringkat mikro dan kecil supaya dapat menerima serta mengguna pakai teknologi e-dompet, terutamanya di kawasan luar bandar sebagai mod pembayaran utama.\nSehubungan dengan itu, bagi menyokong pelaksanaan program ini, KPDNHEP juga bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM26 000.00 menerusi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) dan Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) sebagai insentif kebiasaan baharu kepada peniaga dan pengguna secara tanpa tunai dan tanpa sentuh di Labuan ini.\nKPDNHEP\u00a0 juga menyambut baik program e-Pemula yang telah\ndiumumkan Kerajaan pada 10 April yang lalu khusus untuk golongan belia (IPT) sebanyak RM150 melalui kredit e-tunai melibatkan peruntukan berjumlah RM300 juta. Program ini dijangka akan melonjakkan lagi penggunaan e-dompet, termasuklah memberikan impak secara terus kepada penerima\ndan peniaga yang telah berdaftar melalui program ReDI ." "Perkhidmatan Perbankan Maybank Tergendala Sementara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "\u201cJom Shop Raya\u201d Rancakkan Program Jualan Malaysia Aidilfitri di Jalan Tunku Abdul Rahman\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Yang Berhormat Dato\u2019 Rosol bin Wahid, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal\nPengguna hari ini telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Jualan Malaysia (PJM) Tahun 2022 Jom Shop Raya\u00a0 di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.\nJalan TAR sememangnya tidak asing kepada rakyat Malaysia sebagai ikon membeli-belah keperluan hari raya sejak dahulu lagi. Namun, pada tahun 2020 dan 2021, jualan para peniaga di sekitar Jalan TAR mengalami kemerosotan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan akibat pandemik COVID-19. Perniagaan banyak yang terjejas akibat kekurangan pelanggan, terutamanya dari luar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk membeli belah di JTAR.\nKerajaan menyedari dan simpati akan masalah yang dihadapi para peniaga JTAR, terutamanya peniaga kecil. Oleh itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Batu Road Retailers Association (BARRA) melancarkan program Jom Shop Raya@ J.T.A.R. bersempena dengan Program Jualan Malaysia (PJM) Tahun 2022.\nKPDNHEP\u00a0 bersetuju untuk menyalurkan sumbangan sebanyak\nRM300 000.00, termasuklah baucar hadiah berjumlah RM200 000.00 kepada pihak BARRA untuk menggerakkan kempen promosi jualan JJom Shop Raya ini. Langkah ini dilihat perlu untuk membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup yang dialami rakyat, khususnya daripada golongan B40 untuk membuat persiapan perayaan Hari Raya Aidilfitri.\nProgram Jom Shop Raya ini dilaksanakan selama sebulan bermula 16 April hingga 15 Mei 2022. Program ini merupakan\u00a0 usaha berterusan kerajaan ke arah pemulihan ekonomi negara, khususnya sektor peruncitan selain mengembalikan keyakinan pengguna untuk keluar berbelanja di sekitar Jalan TAR dalam keadaan selamat.\nProgram ini merupakan kesinambungan konsep PJM sejak tahun 2020, iaitu Recovery (pemulihan),\nRevitalise (merancakkan) dan Revive (menghidupkan semula) sektor peruncitan yang merupakan penyumbang utama\u00a0 ekonomi rakyat dan KDNK negara.\nUntuk mengembalikan suasana kemeriahan perayaan aidilfitri,\nKPDNHEP akan meningkatkan kerancakan PJM Aidilfitri melalui Program Rancak Aidilfitri di AEON Nilai, Negeri Sembilan yang akan dilaksanakan dari 23 April hingga 1 Mei 2022. Program ini memberikan peluang kepada ahli Keluarga Malaysia untuk membeli pelbagai barang seperti baju, makanan, minuman, barangan elektrik, dan pelbagai barangan keperluan hari raya pada harga yang sangat berpatutan.\nProgram Jualan Malaysia (PJM) telah dirangka sejak bulan Januari 2022 yang dimulakandengan Perayaan Tahun Baharu Cina 2022 di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan akan berlangsung sepanjang tahun hingga bulan Disember 2022.\nPJM akan menawarkan jualan murah yang merangkumi Segmen Musim Perayaan, Segmen Jualan Mega, Jualan Akhir Tahun dan Segmen Jualan Khusus dengan lapan program utama yang\u00a0 dirancang dan diselaraskan oleh KPDNHEP di seluruh negara dan menyasarkan nilai jualan sebanyak RM500 bilion bagi sektor peruncitan pada tahun 2022." "Hal itu Demikian?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nUmum mengetahui bahawa pola ayat dasar bahasa Melayu terdiri daripada Frasa Nama + Frasa Nama (FN + FN), Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK), Frasa Nama + Frasa Adjektif (FN + FA), dan Frasa Nama + Frasa sendi Nama (FN + FS). Sila lihat contoh yang berikut:\nOleh hal yang demikian, ada pihak tertentu yang berpendapat bahawa binaan seperti \u201chal itu begitu/begini/demikian .\u201d merupakan struktur klausa atau ayat yang salah atas sebab-sebab yang berikut:\na.\u00a0 Kata \u201cbegitu\u201d, \u201cbegini\u201d dan \u201cdemikian\u201d dianggap sebagai adverba\nb.\u00a0 Tiada ayat dasar bahasa Melayu yang berpolakan struktur FN + Adverba\n\u00a0\nOleh itu, disarankan oleh pihak tertentu agar ayat tertentu dijadikan seperti yang berikut: a. Hal itu dikatakan begini /begitu /demikian . (FN + FK) b. Hal itu berlaku begini /begitu /demikian . (FN + FK)\n\u00a0\nTujuan perubahan struktur itu dibuat adalah untuk menjadikan semua struktur ayat tersebut berpola FN + FK agar menepati struktur pola ayat dasar bahasa Melayu.\nWalau bagaimanapun, kata \u201cbegitu\u201d, \u201cbegini\u201d dan \u201cdemikian\u201d telah ditetapkan oleh pihak tertentu sebagai kata adverba tanpa penjelasan yang konkrit dan tuntas untuk mewajarkannya. Oleh itu, hal ini perlu kita kaji terlebih dahulu.\nDalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), terdapat penjelasan tentang maksud kata \u201cdemikian\u201d, \u201cbegini\u201d dan \u201cbegitu\u201d, seperti yang berikut:\n\u201cdemikian\u201d (2007: 331) bererti \u201cbegitu, begini, seperti (itu ) ini\u201d dengan contoh binaan \u201cdemikianlah halnya\u201d, \u201coleh yang demikian\u201d, \u201ctak demikian mahal\u201d\n\u201cbegini\u201d (2007: 147) bererti \u201cbagai ini, macam ini, seperti begini\u201d dengan contoh binaan \u201ctulislah begini\u201d\n\u201cbegitu\u201d (2007: 147) bererti \u201cbagai itu, macam itu, seperti itu\u201d dengan contoh binaan \u201cdahulu pun begitu juga\u201d, selain maksud \u201camat sangat, terlalu\u201d dengan contoh binaan \u201cmereka hidup begitu mewah\u201d\nBerdasarkan maksud kata-kata tersebut, kita dapat merumuskan hal seperti yang berikut:\na. \u201chal ini begini\u201d bererti \u201chal ini seperti ini\u201d\n\u201chal itu begitu\u201d bererti \u201chal itu seperti itu\u201d\n\u201chal itu demikian\u201d bererti \u201chal itu seperti itu / ini\u201d\nStrukturnya ialah FN + FS (struktur dalaman).\n\u00a0\nb. \u201cdia begitu pandai\u201d bererti \u201cdia amat pandai\u201d\nStrukturnya ialah FN + FA (\u201camat\u201d ialah kata penguat).\n\u00a0\nc. \u201cbegini/begitu/demikian\u201d sama dengan \u201cseperti ini/itu\u201d\nStrukturnya ialah FN + FS (struktur dalaman).\n\u00a0\u201cbegitu\u201d juga dapat berfungsi sebagai kata penguat, tetapi bukan sebagai adverba.\n\u00a0\nStruktur klausa atau ayat \u201chal ini seperti ini/itu\u201d mempunyai pola Frasa Nama (hal ini) dengan Frasa sendi nama (seperti ini/itu). Oleh itu, binaan seperti itu menepati struktur pola ayat dasar bahasa Melayu. Sila lihat perbandingan yang berikut:\n5a.\u00a0 Hal ini seperti itu. (FN + FS)\n5b.\u00a0 Hal itu seperti ini. (FN + FS)\n\u00a0\n6a.\u00a0 Sifatnya seperti itu. (FN + FS)\n6b.\u00a0 Gayanya seperti ini. (FN + FS)\nJika diteliti, kata \u201cbegini\u201d, \u201cbegitu\u201d dan \u201cdemikian\u201d juga merupakan penanda wacana rujukan (reference discourse marker) dalam ayat kedua yang merujuk maklumat dalam ayat yang mendahuluinya.\n7a.\u00a0 Ekonomi semakin pulih. Hal ini begini/begitu/demikian kerana rakyat kita bekerja keras.\n7b.\u00a0 Ekonomi semakin pulih. Hal ini seperti ini/itu kerana rakyat kita bekerja keras.\n8a.\u00a0 Semua manusia ada kelemahan.\u00a0 Begini/begitu/demikian juga kita.\n8b.\u00a0 Semua manusia ada kelemahan.\u00a0 Seperti ini/itu juga kita.\nOleh itu, binaan \u201cHal ini begini/begitu/demikian\u201d ialah binaan ayat susunan biasa, manakala \u201cBegini/Begitu Demikian juga kita\u201d mempunyai struktur ayat susunan songsang.\nSebagai rumusan, boleh dikatakan bahawa binaan seperti \u201chal ini begini/begitu/demikian\u201d mempunyai maksud dan struktur dalaman (deep structure) seperti \u201chal ini seperti ini/itu\u201d yang mempunyai struktur FN + FS, dan patut diterima sebagai binaan yang betul.\nWalau bagaimanapun, disebabkan oleh \u201cbegini/begitu/demikian\u201d tidak diiringi oleh sendi nama dalam struktur permukaannya (surface strukture), hal ini boleh dianggap sebagai kecualian dalam tatabahasa bahasa Melayu. Bukankah perkara ini menepati kata-kata hikmat bahawa \u201cbagi setiap rumus, ada sahaja kecualiannya\u201d (for every rule, there is an exception)." "Jumlah Perdagangan Malaysia Mencapai Nilai Tertinggi Baharu pada Mac 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Pengeluaran Getah Asli Susut 39% pada Februari\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Petronas Peroleh Hidrokarbon Pertama dari Telaga Bukit Tua Fasa 2B Indonesia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "LITRAK, SPRINT, KESAS, SMART Terima Tawaran Bersyarat Amanat Lebuhraya Rakyat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Pengumuman Harga Maksimum Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terus komited memastikan Keluarga Malaysia dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini.\nKementerian\u00a0 melaksanakan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam pada 5 Februari 2022 dan sedang berkuat kuasa hingga 5 Jun 2022 sebagai langkah untuk menstabilkan harga ayam dan telur ayam serta memastikan keberadaan bekalannya di pasaran.\nPermintaan terhadap barangan tertentu juga dijangka meningkat menjelang perayaan Hari Raya Puasa yang bakal disambut pada 3 Mei 2022. Sebagai langkah menstabilkan harga barangan dan memastikan keberadaan bekalan di pasaran sebelum, semasa dan selepas perayaan,\nKementerian akan meneruskan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (HRP) 2022 yang akan berkuat kuasa pada 26 April hingga 6 Mei 2022, iaitu tujuh hari sebelum, semasa dan tiga\u00a0 hari selepas perayaan.\nSebanyak 22 jenis barangan akan ditetapkan dengan harga maksimum semasa pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (HRP) 2022 yang melibatkan kategori hasil laut, barangan kering, sayuran dan daging.\nJumlah barangan harga terkawal bagi pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam serta Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (HRP) 2022 melibatkan 28 jenis barangan daripada kategori ayam, telur ayam, sayur, barangan kering, sayuran, dan daging.\nSenarai harga barangan harga terkawal bagi SKIM HARGA MAKSIMUM MUSIM PERAYAAN (HRP) 2022 adalah seperti yang berikut:\ni.\u00a0 \u00a0 \u00a0Daging lembu tempatan (kecuali bahagian batang pinang).\nii.\u00a0 \u00a0 Daging lembu import (*Harga maksimum di Sarawak sahaja).\niii.\u00a0 \u00a0Daging kerbau import (*Harga maksimum di Semenanjung Malaysia, Sabah dan WP Labuan sahaja).\niv.\u00a0 \u00a0 Ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara lapan ekor hingga 12 ekor setiap kilogram).\nv. Ikan selayang (berat antara lapan ekor hingga 12 ekor setiap kilogram).\nvi.\u00a0 \u00a0 Ikan aya/tongkol (berat antara seekor hingga dua ekor setiap kilogram).\nvii.\u00a0 \u00a0 Ikan Demudok/Sagai/Cermin/Cupak (Sabah sahaja).\nviii.\u00a0 Tomato.\nix.\u00a0 \u00a0 \u00a0Cili merah.\nx. Kubis bulat Import (Indonesia dan China, tidak termasuk kubis Beijing).\nxi.\u00a0 \u00a0 \u00a0Kacang panjang.\nxii.\u00a0 \u00a0 Terung panjang.\nxiii.\u00a0 \u00a0Timun.\nxiv.\u00a0 \u00a0 Halia tua import.\nxv.\u00a0 \u00a0 \u00a0Bawang merah besar import.\nxvi.\u00a0 \u00a0 Bawang besar Holland.\nxvii.\u00a0 \u00a0Bawang putih (China).\nxviii.\u00a0 Ubi kentang import (China).\nxix.\u00a0 \u00a0 Cili kering.\nxx.\u00a0 \u00a0 \u00a0Kacang tanah\nxxi.\u00a0 \u00a0 Kelapa biji (borong sahaja).\nxxii.\u00a0 \u00a0Kelapa parut (runcit sahaja).\nSenarai harga barangan harga terkawal bagi PENENTUAN HARGA AYAM DAN TELUR AYAM adalah seperti yang berikut:\ni. Ayam hidup\nii. Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya).\niii. Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal).\niv. Telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram sebiji hingga 69.9 gram sebiji)\nv. Telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram sebiji hingga 64.9 gram sebiji)\nvi. Telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram sebiji hingga 59.9 gram sebiji)\nPenentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi oleh harga dari negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan\npeningkatan kos utiliti penternak.\nKPDNHEP menentukan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit berdasarkan kepada maklumat harga yang dikenal pasti daripada punca yang berikut:\ni. Pemantauan harga di semua daerah di seluruh negara sepanjang tahun 2021 dan dari bulan Januari hingga April 2022 berdasarkan kepada pungutan harga yang ditetapkan secara mingguan oleh KPDNHEP.\nii. Pandangan pelbagai agensi Kerajaan yang berkaitan, iaitu Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Jabatan Perikanan (DOF), Lembaga Perikanan Malaysia (LKIM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS)\niii. Perbincangan dengan pengeluar, pengimport, pembekal danpemborong barangan tersebut.\nAnggota Penguat Kuasa KPDNHEP akan berada di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari bagi memastikan pematuhan oleh peniaga sepanjang tempoh pelaksanaan skim ini.\nKementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan bekerjasama membuat pemantauan untuk memastikan bekalan barangan mencukupi dan memastikan harga di pasaran berpatutan dan seterusnya memastikan keberadaan bekalan di pasaran.\nAdalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah Skim ini. Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti yang berikut:\n(i) Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum:(a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah hingga RM100 000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun hingga RM50 000.00, dan\n(b) Syarikat; boleh didenda hingga RM500 000.00 atau dikompaun hingga RM250 000.00\n(ii) Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal:\n(a) individu; boleh didenda oleh mahkamah hingga RM10 000.00 atau dikompaun hingga RM5 000.00 dan\n(b) syarikat; boleh didenda sehingga RM20 000.00 atau dikompaun hingga RM10 000.00\nSekiranya pengguna mempunyai maklumat berkenaan salah laku\npeniaga berhubung perkara ini boleh melaporkan kepada pihak KPDNHEP\nmelalui saluran berikut:\ni. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000\nii. Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my\niii. Call Centre 1-800-886-800\niv. Emel [email\u00a0protected]\nv. Ez ADU KPDNHEP" "MBAM Minta Kerajaan Campur Tangan Atasi Kenaikan Mendadak Harga Bahan Binaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Syarikat Malaysia Digalakkan Merebut Peluang Tender Sukan Olimpik 2024\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTambah beliau, persiapan itu membolehkan pemain-pemain industri tempatan mengakses pasaran EU terutamanya Perancis yang bakal menganjurkan sukan berprestij itu, yang dijadual bermula 26 Julai hingga 11 Ogos 2024. \u201cMatrade ingin berkongsi bahawa terdapat banyak peluang dalam penganjuran Sukan Olimpik dua tahun lagi iaitu dalam beberapa tender yang telah dikeluarkan oleh kerajaan Perancis. \u201cSecara kumulatifnya tender ini bernilai 5 bilion Euro dan syarikat-syarikat Malaysia boleh mengambil peluang dalam prospek perniagaan yang ada melalui pembinaan Perkampungan Olimpik, misalnya yang sedang giat dijalankan." "Malayan Flour Mills Dijangka Naikkan Harga Jualan Tepung Akibat Peningkatan Harga Gandum\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nFirma itu menambah bahawa segmen berkenaan dijangka terus mengalami kerugian pada suku kedua tahun ini akibat kenaikan harga makanan untuk haiwan ternakan. Harga siling bagi ayam ditetapkan pada RM8.90 sekilogram manakala RM6.50 untuk ayam hidup dan mengikut laporan Bloomberg, purata harga kacang soya Amerika Syarikat (AS) meningkat sebanyak 35% kepada AS$15.61 (RM66.95) bagi setiap gantang pada suku pertama tahun 2022 berbanding AS$11.56 (RM49.58) pada suku pertama tahun 2021.\nHarga purata jagung AS meningkat sebanyak 42.8% kepada AS$6.71 (RM28.78) untuk satu gantang pada suku pertama tahun 2022 berbanding AS$4.70 (RM20.16) pada suku pertama tahun 2021." "Saham Netflix Jatuh 30%\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Trafik Antarabangsa MAHB Kembali Meningkat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "TMK Memacu Bahasa ke Mercu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2212 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan terus melaksanakan fungsinya dalam memperkasakan serta mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Oleh itu, bagi memastikan bahasa Melayu terus di mercu, DBP juga akan meneruskan program dan aktiviti yang telah dirancang dan disusun melalui kegiatan kerjasama dengan pelbagai pihak melalui pelbagai saluran untuk mengembangkan bahasa kebangsaan khususnya dengan memfokuskan kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK).\nHal ini dikongsi oleh YBrs. Dr. Hazami Jahari, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menyatakan bahawa agensi kebahasaan ini akan sentiasa mengenal pasti cara dan kaedah untuk menjayakannya. Pada waktu ini, DBP juga telah mewujudkan studio bagi mendekatkan DBP dalam dunia penyebaran maklumat digital menerusi aplikasi TMK.\n\nSementara itu, ketika mengulas tentang isu kerancuan bahasa, Dr. Hazami mengatakan bahawa isu itu juga sedikit banyak berpunca daripada sumber media. Menurutnya lagi, agensi penyiaran seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) masih teguh dan kekal mendaulatkan bahasa kebangsaan.\nDBP turut menyediakan panduan dan kaedah yang betul kepada badan penyiaran mahupun mana-mana agensi media agar dapat menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul. Namun begitu, pendekatan DBP tersebut tidak menyekat kreativiti mana-mana pihak media dan sentiasa memberikan khidmat nasihat agar semua pihak dapat mendaulatkan bahasa kebangsaan.\nBeliau berkata demikian menerusi slot \u201cSembang KL\u201d, yang diterbitkan oleh KLFM, Rentak Interaktif Kota, Radio Televisyen Malaysia (RTM). Siaran yang disiarkan secara langsung pada 2.30 petang itu dikendalikan oleh juruhebah, EJ atau Effa dan penerbit, Caaldidi, yang membincangkan tajuk \u201cAzam Baharu Bahasa di Mercu\u201d.\nSebelum mengakhiri program, beliau turut memaklumkan bahawa Majlis Pelancaran Kamus Dewan Perdana akan disempurnakan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 27 Januari 2022 di Dewan Bahasa dan Pustaka. Kamus Dewan Perdana ini merupakan kamus bahasa Melayu terlengkap dan terbesar di dunia." "Majlis Pelancaran Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial Malaysia 2030 (Semy2030)\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0 \u2013 Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yakin Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial Malaysia 2030 (SEMy2030) mampu mewujudkan ekosistem keusahawanan sosial yang ideal bagi mengarus perdana perusahaan sosial dalam ekonomi dan menormalisasi impak sosial dan alam sekitar yang dihasilkan menjelang tahun 2030.\nSEMy2030 yang dilancarkan hari ini oleh YAB Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, merupakan hala tuju strategik baharu yang menggariskan strategi, inisiatif dan petunjuk prestasi utama bagi pembangunan keusahawanan sosial dengan matlamat untuk menjadi aliranutama perusahaan sosial sebagai penyumbang efektif kepada pembangunan sosio ekonomi negara yang inklusif, seimbang dan mampan.\nKeterlihatan peranan keusahawanan sosial dalam mengatasi masalah\nsosioekonomi masyarakat semakin meningkat berikutan dengan perjuangannya yang berteraskan matlamat untuk meningkatkan tahap kehidupan dengan memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya mereka yang terpinggir dan sering tercicir daripada arus pembangunan dan program bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan.\nRangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 atau SEMy2030 yang dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ini bertepatan bagi menyokong perkembangan keusahawanan sosial di Malaysia dalam menangani isu sosial dan alam\nsekitar yang dihadapi negara, termasuklah jurang pendapatan yang semakin melebar, kejadian bencana alam yang semakin meningkat serta krisis bekalan air.\nDengan tema mengarus perdana perusahaan sosial, menormalisasi impak sosial, Rangka Tindakan ini telah menggariskan sebanyak lima objektif yang sejajar dengan aspirasi, strategi dan inisiatif yang ditetapkan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12.\nDalam memastikan pencapaian objektif dan sasaran dasarnya, SEMy2030 telah membangunkan lima teras strategik, 20 strategi dan 45 inisiatif. SEMy2030 turut menetapkan deskripsi baharu perusahaan yang lebih inklusif selaras dengan ciri-ciri perusahaan sosial pada peringkat global.\nSatu daripada inisiatif yang akan dilaksanakan di bawah SEMy2030 ialah pembangunan kerangka kawal selia dan tadbir urus yang efektif untuk mengukuhkan akauntabiliti serta membina kepercayaan daripada rakyat dan sektor swasta. Selain itu, Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan melaksanakan semakan semula dan menambah baik kerangka pendaftaran dan akreditasi perusahaan sosial sedia ada bagi membantu perusahaan sosial mendapatkan akses yang lebih luas terhadap bantuan dan peluang untuk berkembang maju.\nMalaysia masih mempunyai potensi yang besar dalam membangunkan lebih banyak lagi perusahaaan sosial tempatan. Berdasarkan tinjauan yang dilaksanakan oleh Thomas Reuters pada tahun 2016, Malaysia merupakan antara 10 buah negara terbaik yang memberikan peluang kepada usahawan sosial untuk berkembang maju.\nSehubungan dengan itu, Ismail menyeru semua pihak yang berkepentingan dalam pembangunan keusahawanan sosial, terutamanya agensi awam dan swasta, para pelabur impak sosial serta badan-badan korporat agar memberikan sokongan, kerjasama dan komitmen yang padu dan berterusan dalam melaksanakan anjakan transformasi yang\u00a0 melalui SEMy2030.\nPada majlis yang sama, YAB Perdana Menteri turut menyaksikan penyerahan sumbangan bernilai RM156 300.00 daripada Uda Holdings Sdn. Bhd, Bank Rakyat, SME Bank dan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) kepada empat buah perusahaan sosial terpilih iaitu GoodKids Academy, Rodrell Sdn. Bhd., DIA My Academy Sdn. Bhd., dan MyMedikal Healthcare Sdn. Bhd. Pemberian geran RM810 935 turut disampaikan oleh SME Corp. Malaysia kepada 12 buah perusahaan sosial bagi Program SE Basic Scale Up dan Micro Connector." "Petronas Chemical Rekod Keuntungan Bersih RM7.3 bilion\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Program SE untuk Anda (SE4U) Melabuhkan Tirai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Program SE untuk anda (SE4U) melabuhkan tirainya pada hari ini setelah diadakan selama tiga hari dari 22 April 2022 yang lalu. Majlis penutup\u00a0 program ini disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan\nKoperasi (KUSKOP), YBhg. Dato\u2019 Suriani binti Dato\u2019 Ahmad, mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Tan Sri Noh bin HajiOmar.\n\u00a0\nSepanjang tiga hari penganjuran Program SE4U yang diadakan di Lalaport, Bukit Bintang Kuala Lumpur, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan dengan kerjasama di antara agensi-agensi di bawah Kementerian, rakan strategik dan usahawan sosial sedia ada. Acara kemuncak Program SE4U adalah pelancaran dokumen Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial (SEMy2030) yang disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri pada 23 April 2022.\nPengisian program-program SE4U yang melibatkan khidmat nasihat dan fasilitasi keusahawanan, gallery walk SEMy2030, kursus dan seminar asas keusahawanan sosial, pocket talk, SE Hunt, pecha kucha, Fundamental Family Hour dan Pitch Ring\u00a0 berjaya meningkatkan kesedaran dan pemahaman pelbagai lapisan masyarakat termasuk bakal usahawan sosial mengenai lanskap keusahawanan sosial di Malaysia.\nMajlis ini turut meraikan 80 penerima manfaat perusahaan sosial merangkumi Orang Kurang Upaya, ibu tunggal dan golongan B40 yang setiap mereka menerima sumbangan raya bernilai RM200.00 seorang. Semasa majlis penutup tersebut juga, Suriani menyerahkan Sijil Perusahaan Sosial Asas kepada 11 buah perusahaan sosial dan sijil tamat Kursus Asas Keusahawanan Sosial kepada 150 orang pelajar daripada lapan institusi pengajian tinggi (IPT).\nPenganjuran SE4U ini merupakan titik permulaan kepada lebih banyak lagi pelaksanaan program dan inisiatif keusahawanan sosial pada masa akan datang selaras dengan aspirasi SEMy2030 untuk mengarus perdana perusahaan sosial dan menormalisasi impak sosial di Malaysia." "Pelan Penyusunan Semula Bantu Malaysia Aviation Group Catat Prestasi Positif Tahun 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Tol Percuma Diskaun hingga 50% Bersempena dengan Aidilfitri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kerajaan memperuntukkan tol percuma dan kadar diskaun di 30 buah lebuh raya di seluruh negara, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.\nPerdana Menteri berkata, pemberian diskaun tol ini selaras dengan fasa peralihan ke endemik sejak 1 April lalu dan sempena sambutan Aidilfitri yang dijangka pada 3 Mei depan.\nPersetujuan dicapai selepas sesi rundingan bersama-sama 30 buah syarikat konsesi lebuh raya itu bakal membabitkan diskaun keseluruhan sebanyak RM77.11 juta untuk pengguna lebuh raya.\n\u201cJumlah manfaat ini akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan syarikat konsesi. Pemberian tol percuma membabitkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menghubungkan jaringan lebuh raya utara selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan lebuh raya pantai timur (LPT).\n\u201cTol percuma akan bermula pada jam 12 tengah malam pada 30 April ini hingga 1 Mei depan pukul 11:59 malamkepada semua kelas kenderaan,\u201c kata beliau." "Kerajaan Tarik Pelabur dari Mesir dan Qatar untuk Sektor Getah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Malaysia Kekal di Landasan Pemulihan Ekonomi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Dividen Bank Rakyat 15%\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Kerajaan Negeri Dapat Kelonggaran Tamabahan Penggunaan Pemberian MARRIS\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Melalui Mesyuarat Majlis Kewangan Negara kali ini, Kerajaan Persekutuan\u00a0 menambahbaik Pemberian dan sokongan kepada negeri untuk tahun 2022, antaranya termasuklah:\ni. Kerajaan Negeri diberi kelonggaran tambahan dalam penggunaan peruntukan di bawah Pemberian Penyenggaraan\u00a0 \u00a0 \u00a0Jalan Negeri (Pemberian MARRIS) sebanyak RM5 bilion untuk tahun 2022.\nPeruntukan ini bagi membiayai kerja penyenggaraan, pembaikan, penggantian serta pengubahsuaian jalan, jambatan, longkang, pembentung dan cerun di jalan negeri yang rosak akibat banjir termasuk di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan.\nKerajaan Persekutuan amat prihatin ke atas situasi yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri pascabanjir Monsun Timur Laut 2021/2022 yang lepas.\nii. Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengkaji semula Pemberian MARRIS supaya peruntukan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri melalui memperluaskan lagi skop perbelanjaan MARRIS untuk merangkumi penyelenggaraan jalan seperti yang di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian.\nSehubungan dengan itu, Kerajaan Persekutuan bersedia membuat pindaan garis panduan dan perundangan yang berkaitan untuk meluaskan skop penggunaan Pemberian MARRIS.\niii. Meningkatkan peruntukan pindahan fiskal ekologi (Ecological Fiscal Transfer \u2013 EFT) daripada RM70 juta kepada RM100 juta sebagai insentif khusus kepada negeri- negeri yang mewartakan kawasan baharu untuk dilindungi.\nInsentif kewangan kepada Kerajaan-kerajaan Negeri ini bertujuan meningkatkan usaha pemeliharaan serta pemuliharaan kawasan biodiversiti daratan dan marin, Kerajaan negeri akan diberi insentif kewangan.\niv. Caruman sebanyak RM330 juta dalam Kumpulan Wang Rizab Negeri bagi membiayai Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP).\nv. Jawatankuasa akan ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi membuat semakan semua formula pengiraan, kriteria dan kaedah pengagihan bagi Pemberian TAHAP.\nHal ini menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan peluang kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek pembangunan mengikut keutamaan dan keperluan negeri masing-masing. Langkah ini bagi memperkukuhkan lagi momentum pemulihan ekonomi Keluarga Malaysia.\nKerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan hubungan dengan Kerajaan Negeri sentiasa berada dalam tahap yang terbaik.\nHasrat ini dimanifestasikan melalui peningkatan peruntukan yang disalurkan dalam pelbagai bentuk pemberian kepada Kerajaan Negeri pada setiap tahun. Oleh hal yang demikian, Kerajaan Persekutuan berharap pemberian-pemberian ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri, terutamanya dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan Keluarga Malaysia sentiasa terpelihara." "CTOS Ambil Alih 9.1% Pegangan dalam RAM Holdings pada Harga RM25 Juta\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Bencana Bahasa Merosakkan Bangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\nKuala Lumpur \u2212Bahasa Melayu kini dikatakan turut bergelut untuk kekal lestari dan iklim bahasa tersebut dilihat sama seperti bencana alam yang melanda negara pada hari ini. Adakah iklim bahasa kini diselubungi oleh mendung seolah-olah tidak menemukan sinar? Apakah kita bergelut untuk mempertahankan bahasa kebangsaan? Semua persoalan tersebut dirungkaikan oleh YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang diundang khas dalam program Ruang Bicara yang berjudul \u201cIklim Bahasa \u2212 Mendung atau Masih Ada Sinar?\u201d. Program yang bersiaran secara langsung menerusi Bernama TV pada pukul 9.00 malam tadi dikendalikan oleh juruhebah, Ziana Nasir.\nMenurut Datuk Abang Sallehuddin, sejarah perjuangan bahasa kita melalui perjalanan yang panjang, ibarat iklim yang sentiasa berubah. Sebelum negara mencapai kemerdekaan, iaitu sebelum bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa kebangsaan negara, pelbagai perjuangan dan halangan dilalui oleh masyarakat untuk memartabatkan bahasa Melayu. Para pejuang bahasa terdahulu sudah melihat betapa pentingnya peranan yang dimainkan oleh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam pembangunan negara bangsa.\nTambah beliau lagi, DBP sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi sebarang cabaran untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Yang lebih membanggakan, DBP sentiasa mendapat sokongan daripada rakyat Malaysia ke arah memartabatkan bahasa Melayu.\n\u00a0\nTambah Datuk Abang Sallehuddin, DBP telah mencapai kejayaan yang membanggakan apabila kini sistem ejaan sudah mantap, istilah dalam bahasa Melayu sudah banyak diadakan, buku khazanah ilmu dalam bahasa Melayu sudah banyak diterbitkan, begitu juga dengan sistem pendidikan di negara ini telah melahirkan banyak cendekiawan dan bijak pandai. Beliau juga berharap agar para bijak pandai ini dapat membantu DBP dalam usaha memandaikan bangsa Malaysia menggunakan bahasa Melayu. DBP berperanan untuk menyediakan pelbagai bahan bacaan ilmu untuk membantu melahirkan masyarakat yang pandai dan berilmu, iaitu antara tujuan dan matlamat penubuhan DBP itu sendiri.\nPihak media juga berperanan sebagai satu wadah penyampaian maklumat kepada masyarakat sejak dahulu lagi dilihat mampu mempengaruhi iklim bahasa kebangsaan. Hal ini dibuktikan apabila pihak media seperti BERNAMA sentiasa memberikan ruang dan dukungan untuk semua masyarakat memberikan pandangan, mengadakan kempen mencintai bahasa dan tidak ketinggalan juga dilihat sentiasa mengutamakan bahasa Melayu dalam penyampaian dan hebahan maklumat kepada masyarakat. Hal ini sebenarnya banyak membantu DBP dalam usaha untuk mengembangkan dan memartabatkan bahasa kebangsaan.\nPada masa yang sama, Datuk Abang Sallehuddin turut menegaskan bahawa bencana bahasa seperti isu kerancuan bahasa yang terjadi dalam masyarakat pada hari ini berlaku disebabkan masyarakat tidak menguasai bahasa Melayu dengan baik dan juga tidak menguasai bahasa asing seperti bahasa Inggeris dengan baik. Akhirnya, untuk menyampaikan buah fikiran, maka masyarakat menggunakan pelbagai campuran bahasa yang menyebabkan berlakunya kerancuan bahasa.\nSekiranya penggunaan bahasa Melayu yang tidak betul menjadi amalan masyarakat, maka akan rosaklah keindahan bahasa Melayu. Situasi penggunaan bahasa rasmi dan tidak rasmi mestilah jelas supaya generasi muda boleh berinteraksi menggunakan bahasa yang betul mengikut situasi. Keutamaan penggunaan bahasa rasmi ialah dalam situasi formal seperti di parlimen, urusan surat-menyurat dan dokumen rasmi.\nDatuk Abang Sallehuddin turut menyatakan bahawa rakyat digalakkan menguasai pelbagai bahasa tetapi keutamaan dan penekanannya mestilah kepada bahasa kebangsaan. Beliau turut menambah, janganlah ada dalam kalangan masyarakat yang meminggirkan bahasa Melayu kerana terlalu ghairah untuk mempelajari bahasa asing." "Inflasi Diunjur Terus Meningkat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Kerajaan Pertimbang Perkenal Mekanisme Subsidi Minyak Bersasar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Malaysia Peroleh Laba daripada Larangan Eksport Minyak Sawit Indonesia?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nApabila isu minyak sawit timbul, penulis teringat akan tiga isu besar. Pertama, tindakan beberapa pihak yang ingin mengambil tindakan terhadap Malaysia berikutan dengan isu pekerja yang tidak mendapa layanan setimpal. Kedua, tindakan pihak berkuasa India yang bercadang memboikot pembelian minyak sawit \u00a0dari Malaysia.\nIsu tersebut timbul ekoran kenyataan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta India bekerjasama dengan Pakistan bagi menyelesaikan isu konflik dua buah wilayah berkenaan ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations General Assembly (UNGA)) ke-74 pada 24 September 2020 hingga 28 September 2020.\nKetiga, Barat\u00a0 yang melaksanakan diskriminasi terpilih mereka terhadap minyak sawit atas alasan keradangan kepada kulit dan pekerja buruh paksa, dan isu perubahan iklim, kini akur tentang peri pentingnya minyak sawit kepada dunia.\nDalam hal yang sama, Indonesia melarang pengeksportan minyak sawitnya ke pasaran dunia kerana ingin memenuhi pasaran domestiknya. Adakah hal ini akan menyebabkan dunia akan memberikan perhatian semula kepada Malaysia?\nPresiden Joko Widodo mengumumkan bahawa Indonesia akan menghentikan eksport minyak masak dan minyak sawit mentah ke luar negara bermula 28 April ini.\nKesatuan Petani Kelapa Sawit Indonesia menyokong larangan kerajaan terhadap eksport kelapa sawit dan menyifatkannya sebagai langkah sementara yang diperlukan.\nTindakan negara pengeluar kelapa sawit dan pengeksport terbesar dunia itu bertujuan memastikan bekalan dan harga mampu beli minyak masak di pasaran domestik.\nAdakah hal ini mendatangkan laba kepada Malaysia dari segi peningkatan pengeluaran? Dan, Malaysia berpotensi menjadi pengeksport utama minyak sawit?\nIndia misalnya mengimport sebanyak 50% minyak sawit dari Indonesia. Dalam setahun, jumlah importnya dianggarkan sekitar lapan juta tan, iaitu memperuntukkan sebanyak 40% daripada jumlah minyak yang boleh digunakan untuk masakan. India ialah\u00a0 negara pengimport terbesar\u00a0 minyak masak sayuran di dunia\nApakah tindakan kerajaan India berikutan langkah Indonesia itu? Adakah New Delhi akan merujuk Malaysia untuk menambahkan ekport mintak sawit dari Malaysia?\nLarangan eksport itu menyebabkan harga minyak kacang soya melambung ke paras tertinggi di tengah-tengah kebimbangan mengenai bekalan global minyak sayur-sayuran alternatif yang berkurangan.\nLangkah Indonesia ini dikhuatiri akan memburukkan situasi kekurangan bekalan masak yang mungkin boleh membawa kepada krisis kebuluran makanan di negara yang bergantung pada import minyak masak.\nKetidakseimbangan permintaan dan penawaran dijangka menyebabkan harga minyak sawit dan minyak-minyak pesaing lain melonjak ke paras yang lebih tinggi.\nKonflik Rusia\u2013Ukraine menyukarkan pasaran minyak masak dunia. Rantau Laut Hitam sahaja memperuntukkan sebanyak 76% eksport minyak bunga matahari. Penghantaran melalui jalan laut ke rantau tersebut terjejas disebabkan oleh pihak insurans mengenakan premium yang tinggi kesan\u00a0 situasi perang yang menyebabkan kapal penghantar kargo minyak masak tidak mampu menanggung kosnya.\nKonflik kedua-dua buah negara ini memaksa kebanyakan negara yang terjejas import minyak bunga matahari bertukar kepada import minyak sawit. Ukraine dan Russia ialah pengeksport terbesar minyak bunga matahari di dunia. Menurut \u00a0the Observatory of Economic Complexity, laman sesawang visualisasi data unuk perdagangan antarabangsa, sebanyak 46% minyak bunga matahari\u00a0 adalah dari Ukraine. Sementara, sebanyak\u00a0 25% adalah dari Russia.\nJika diteliti, langkah Indonesia itu pernah dilaksanakan oleh beberapa buah negara. Sebagai contohnya, Argentina yang mengenakan cukai eksport yang tinggi\u00a0 bagi minyak masaknya Sementara, Moldova, Hungary dan Serbia\u00a0 malarang ekspot bijirin mereka.\nPeningkatan dasar perlindungan makanan akan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan negara yang bergantung pada bahan makanan asas\u00a0 dan minyak masak seperti di Timur Tengah dan Afrika yang akan menbawa kepada kekurangan bekalan makanan dan dapat mencetuskan kekacauan.\nBagaimanakah pula dengan Malaysia? Dapatkah Malaysia mengimbangkan kekurangan minyak kelapa sawit dunia berikutan tindakan Indonesia itu? Indonesia merupakan negara pengeksport minyak sawit terbesar di dunia. Pada tahun lalu, pengeluaran minyak sawit Indonesia\u00a0 adalah sebanyak 59% dan sebanyak 56% adalah daripada eksport minyak sawit.\nDalam hubungan ini, Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata, kesan jangka pendek tentunya menyebabkan negara pengimport mengalihkan pandangan ke negara ini. Namun begitu, Malaysia berdepan dengan cabaran kerana isu kekurangan tenaga buruh yang menyebabkan Malaysia tidak mampu menampung permintaan tinggi ekoran langkah yang diambil oleh Indonesia itu.\nJeck Seng turut memaklumkan bahawa ketika ini pengeluaran minyak sawit mentah (Crude\u00a0Palm Oil (CPO)) yang mampu dikeluarkan oleh Malaysia\u00a0 adalah sekitar 17 juta tan setahun. Hal ini disebabkan oleh faktor ketiadaan pekerja di sektor perladangan.\nMenurut beliau, peningkatan permintaan eksport itu mampu memberikan cabaran kepada industri hiliran sawit tempatan di Malaysia memandangkan persaingan untuk mendapatkan bekalan bahan mentah. Jelas beliau, Malaysia masih bergantung pada permintaan dan penawaran minyak sawit dunia. Keperluan bagi pasaran tempatan pula hanya satu juta tan setahun bagi pengeluaran minyak masak bersubsidi.\nSebagai negara pengeluar dan pengeksport utama minyak sawit dan produk-produk hiliran berasaskan sawit, kerajaan Malaysia akan melindungi\u00a0kelangsungan dan kebolehsaingan industri sawit tempatan pada peringkat global, termasuklah industri hiliran.\u00a0Namun, sejauh manakah penghentian eksport minyak sawit itu dapat menangani masalah kekurangan minyak masak?\nLangkah ini dibimbangi akan mewujudkan kekurangan yang besar di pasaran antarabangsa, dan meninggalkan kesan kepada pendapatan pekerja, petani kecil dalam industri ladang dan industri minyak sawit di Indonesia. Oleh hal yang demikian, Malaysia harus merancang strategi dan memikirkan perancangan jangka pendek dan jangka panjang.bagi meningkatkan eksport minyak sawitnya ke pasaran dunia.\nPenulis ialah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)." "Harga Runcit Produk Petroleum dari 28 April 2022 hingga 4 Mei 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism, harga runcit produk petroleum bagi tempoh 28 April 2022 hingga 4 Mei 2022 adalah ditetapkan seperti yang berikut:\nBagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan sepertimana yang dapat dilihat pada harga runcit petrol RON97 yang ditetapkan mengikut harga pasaran.\nKerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara." "Petunjuk Ekonomi Malaysia Jan-Mac 2022 Positif\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKetua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini dijangka meningkatkan permintaan barangan dan perkhidmatan yang seterusnya akan merangsang ekonomi. \u201cNamun begitu, senario global yang berterusan akan meningkatkan harga komoditi yang mendorong kepada jangkaan inflasi. \u201cJumlah perdagangan negara mengekalkan prestasi kukuhnya dengan mencatatkan pertumbuhan 17.5%, mencecah RM184.8 bilion daripada RM157.3 bilion pada Februari 2021.\u201c Kedua-dua eksport dan import masing-masing melonjak kepada 16.8% dan 18.4% tahun ke tahun dengan merekodkan sebanyak RM102.3 bilion dan RM82.5 bilion, menyumbang kepada lebihan dagangan yang melebar sebanyak 10.7%." "Coway Bekerjasama dengan Universiti Malaya untuk Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Antarabangsa yang Pertama di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0 Pusat penyelidikan dan pembangunan antarabangsa pertama Coway bakal dibuka di Malaysia! Dalam usaha untuk mengukuhkan komitmennya untuk menjadi Syarikat Best Life Solution, Coway Malaysia bekerjasama dengan sebuah institusi pengajian tinggi berprestij di Malaysia \u2013 Universiti Malaya (UM), dengan aspirasi untuk meneruskan penyelidikan dalam menyediakan penyelesaian yang mengubah kehidupan di luar penjagaan.\nDengan termeterainya memorandum persefahaman\u00a0 yang ditandatangani antara dua buah organisasi terkemuka ini untuk kerjasama Akademik-Industri, pusat penyelidikan dan pembangunan canggih ini akan ditempatkan di UM dengan pelbagai makmal untuk menjalankan penyelidikan kualiti air dan tidur.\nCoway Malaysia berhasrat memanfaatkan kepakaran profesor dan pelajar dari fakulti Kejuruteraan dan Sains untuk terus mempelopori inovasi teknologinya. Menerusi pusat penyelidikan dan pembangunan ini, Coway Malaysia boleh menjalankan penyelidikan yang lebih mendalam tentang cara menambah baik produknya dengan mengambil kira keperluan rakyat Malaysia. Di samping itu, kerjasama ini juga bakal membuka peluang bagi latihan amali, khidmat rundingan, penajaan, penubuhan makmal, dan sebagainya.\n\u201cIni merupakan kemudahan penyelidikan dan pembangunan pertama kami di luar Korea Selatan dan kami sangat teruja untuk melihat rancangan kami kini menjadi kenyataan. UM ialah rakan kongsi yang terbaik untuk kerjasama ini kerana misi mereka untuk menimba ilmu baharu dan menyemai pembangunan pemimpin masa depan yang sejajar dengan semangat \u2018Cowayian\u2019 kami.\n\u00a0\n\u00a0\nSaya berbangga untuk menyatakan bahawa Coway Malaysia juga merupakan syarikat peralatan rumah Korea yang pertama yang bekerjasama dengan UM dalam perkongsian unik ini dan kami berharap ini akan membuka jalan bagi pelbagai peluang inovatif pada masa depan.\nKami di Coway mengutamakan penyelidikan dan pembangunan kerana kami hanya mahu memberikan yang terbaik kepada pelanggan. Coway percaya kepada inovasi berterusan demi kehidupan lebih baik sambil kami berusaha untuk menyediakan penyelesaian di luar penjagaan. \nDengan pusat penyelidikan dan pembangunan ini terletak secara strategik di Malaysia, kami akan dapat memberikan tumpuan untuk menghasilkan peralatan rumah terbaik khas untuk rakyat Malaysia,\u201d kata Kyle Choi, Pengarah Urusan Coway Malaysia.\nBeliau menambah\u00a0 bahawa menerusi memorandum persefahaman ini, Coway juga berusaha untuk meningkatkan kesefahaman antara kedua-dua pihak seperti peluang pekerjaan dan latihan amali bagi graduan UM serta pertukaran ilmu antara pakarindustri dari Korea Selatan dan Malaysia.\nPusat penyelidikan dan pembangunan Coway yang pertama \u00a0ditubuhkan pada tahun 1993 dan bertempat di Taman Penyelidikan Universiti Kebangsaan Seoul di Seoul, Korea Selatan. \nPusat penyelidikan dan pembangunan ini merupakan yang terbesar di dunia, dilengkapi dengan 182 peranti dan peralatan canggih.\u00a0 Kemudahan tersebut juga telah menerima pensijilan oleh Persatuan Kualiti Air (WQA) di Amerika sebagai Makmal Ujian Diiktiraf yang memberikan tumpuan menjalankan ujian kecekapan dan keselamatan.\nDengan penubuhan pusat penyelidikan dan pembangunan keduanya, Coway Malaysia yakin dengan komitmen sepenuhnya untuk menjalankan penyelidikan dan inovasi tempatan di luar Korea Selatan. Coway Malaysia akan\u00a0 memfokuskan penyelidikan kualiti air di Malaysia.\n\u201cCoway berinovasi untuk hidup yang lebih indah. Seperti UM, Coway mempunyai misi untuk memperkasakan generasi masa depan dan terus memperkenalkan inovasi hebat yang boleh membantu dalam penyelidikan dan menyediakan indeks kualiti air dan corak tidur. Kami berharap untuk memperbaik alam sekitar dan kehidupan setiap komuniti di Malaysia melalui penyelidikan ini,\u201d kata Victor Kim, Ketua Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Coway Malaysia.\n\u201cKami mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama dengan Coway Malaysia yang sentiasa bertekad untuk mengubah kehidupan dan menjadikan negara kita lebih indah dengan produk-produk inovatif mereka. Semua pelajar dan profesor kami sememangnya teruja dengan kemudahan penyelidikan dan pembangunan yang bakal dibuka di UM dan menantikan peluang menarik ini untuk berkongsi dan bertukar pengetahuan dengan pakar industri dari Korea Selatan.\nHal ini\u00a0 sejajar dengan misi UM untuk menambahkan pembelajaran dan ilmu pengetahuan menerusi penyelidikan dan pendidikan berkualiti demi kepentingan negara dan kemanusiaan. Bagi mencapai matlamat ini, kami mempergiat usaha untuk menaikkan nama universiti menerusi proses pengantarabangsaan, kerjasama dan pakatan dengan industri strategik dan pihak-pihak berkepentingan,\u201d kata Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Abdul Raman, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Universiti Malaya." "MRT Corp akan Mulakan Proses Tender Laluan Lingkaran MRT3 pada Mei 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Maxis Catat Untung Bersih Suku Pertama RM298 juta\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Malaysia Dapat Penuhi Permintaan Global untuk Minyak Sawit\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Hanya Dua Telco Tandatangan Perjanjian Miliki Ekuiti DNB\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Audit Bahasa Mantapkan Jati Diri Bangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAudit bahasa? Pastinya agak janggal kerana kita biasa mendengar tentang audit kewangan, audit staf dan audit pentadbiran. Apakah audit bahasa? Mengapakah perlunya dibuat audit bahasa? Bahasa bukan sekadar alat komunikasi untuk saling mengenal dan berhubung antara satu sama lain tetapi bahasa jiwa bangsa. YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata demikian dalam Rancangan Peka Bahasa: Audit Bahasa menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada hari ini.\nBeliau turut memetik ucapan Yang Teramat Mulia Tengku Abdul Rahman Putra Al-Haj semasa berucap bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan, iaitu bahasa kebangsaan ibarat roh kepada jasad. Tanpa bahasa kebangsaan, negara seakan-akan jasad tanpa roh. Itu ungkapan yang paling tepat kerana bahasa ialah kurniaan besar daripada Allah SWT kepada manusia bersama-sama akal fikiran, tidak kira agama ataupun latar bangsa.\nKatanya lagi, bahasa ialah asas dalam pembinaan tamadun dan salah satu pancang negara bersama-sama pancang yang lain seperti pendidikan, kebudayaan, kedudukan agama dan perlembagaan negara. Oleh itu, bahasa ialah pancang yang penting untuk negara terutamanya untuk perpaduan.\nBahasa berperanan untuk memajukan negara melalui asas jati diri rakyat, iaitu bahasa Melayu menjadi alat komunikasi dalam jentera pentadbiran negara. Kita juga sedia maklum, sekiranya pelbagai bahasa digunakan dalam jentera pentadbiran negara, maka akan timbul kekeliruan dalam urusan dokumen, surat-menyurat dan sebagainya. Oleh itu, gunakan satu bahasa sahaja, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.\nBeliau turut menekankan bahawa audit bahasa penting bagi memastikan jentera pentadbiran negara bergerak dengan lancar. DBP satu-satunya badan kerajaan di dunia yang membuat audit bahasa. Audit bahasa dilakukan untuk perpaduan dan pembangunan negara, pendemokrasian dan pendidikan serta pengukuhan jati diri rakyat. Hanya dalam konteks rasmi kita menggunakan bahasa Melayu selain digalakkan untuk mempelajari bahasa lain." "Bahasa Melayu Megar di Persada Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTerengganu \u2212 Untuk mengenali sesebuah negara, kita tidak dapat lari daripada mengenali dan mempelajari bahasa tempatan masyarakat tersebut.\u00a0Bahasa Melayu umpamanya sebagai satu kursus bahasa yang ditawarkan di institusi luar negara seperti di Belanda, Perancis, Jerman, Jepun, Korea, dan China, telah diterima baik sebagai satu bahasa ilmu yang dipelajari dan diselidiki. Pada hari ini, pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa asing semakin berkembang di seluruh dunia. Keperluan untuk menguasai bahasa asing menyebabkan banyak universiti menawarkan kursus bahasa asing.\nDi Jepun, terdapat sembilan buah universiti yang menawarkan Kursus\u00a0Bahasa Melayu. Perkembangan positif ini memberikan satu petanda bahawa bahasa Melayu kini menjadi bahasa ilmu dan dikaji secara ilmiah oleh penyelidik dari luar negara. Sehingga kini, lebih 300 juta penduduk dunia bertutur dalam bahasa Melayu. Berpandukan faktor geopolitik, ekonomi, potensi, serta pelbagai faktor penyokong yang lain, sudah tiba masanya bahasa Melayu terus diperkasakan ke peringkat yang tertinggi, khususnya sebagai medium untuk melahirkan generasi yang berfikiran tinggi dalam ilmu penyelidikan bahasa.\nPerkembangan pengajian bahasa Melayu di persada antarabangsa yang amat memberangsangkan ini sewajarnya dimanfaatkan oleh ahli akademik dan para penyelidik kerana mereka ialah golongan sarjana yang mempunyai tugas dan tanggungjawab utama untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi menerusi kerjasama penyelidikan dan penerbitan ilmiah.\nMenurut Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dalam ucapan alu-aluannya menerusi Syarahan Darul Iman Siri 3, universiti merupakan sektor yang paling ampuh untuk memartabatkan bahasa Melayu kerana institusi tersebut merupakan contoh terbaik yang mengumpulkan pelbagai kaum, agama dan budaya dalam perjuangan menuntut ilmu pengetahuan dalam pelbagai jurusan.\nSelain itu, universiti juga selaku gedung ilmu perlu menghargai peranan besar bahasa Melayu dalam memberikan nilai ilmu kepada masyarakat dunia. Justeru, UMT sentiasa mendorong pelajar antarabangsa untuk mengenali dengan lebih mendalam tentang kepentingan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian. Hal ini sekali gus dapat membantu Malaysia dalam meningkatkan penggunaan bahasa Melayu. Secara tidak langsung, hal tersebut menarik minat pelajar asing untuk mendekati budaya di Malaysia.\nSementara itu, menurut Prof. Madya Dr. Hiroki Nomoto pula, masa depan bahasa Melayu di Jepun dilihat masih berpotensi untuk berada dalam kelas yang tersendiri, iaitu konsisten untuk diterima dan dipelajari oleh pelajar Jepun walaupun jumlah pelajar yang mengambil bahasa Melayu di TUFS tidak begitu ramai.\nUsaha yang berterusan dalam aspek kerjasama dan sokongan daripada institusi pendidikan tinggi di Malaysia amat diperlukan bagi mengembangkan bahasa Melayu di persada dunia.\nOleh itu, sebagai warganegara Malaysia, bahasa Melayu tidak boleh dilihat sebagai hak milik sesuatu kaum sahaja tetapi berkongsi rasa kebertanggungjawaban untuk memasyarakatkan bahasa Melayu. \u201cSakit sama mengaduh, luka sama menyiuk.\u201c Warga Malaysia perlu bertanggungjawab untuk bahasa dan bangsa dengan mengembangkan bahasa Melayu dalam ranah ilmiah di persada antarabangsa.\nDemikianlah antara perbincangan menarik daripada pembicara jemputan, iaitu Prof. Madya Dr. Hiroki Nomoto dari Tokyo University of Foreign Studies (TUFS), dalam program Syarahan Darul Iman 3, anjuran Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL), UMT, dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, yang bertajuk \u201cBahasa Melayu dari Jendela Matahari Terbit\u201d dan disiarkan secara langsung melalui Webex dan FB PPAL pada pukul 10.00 pagi tadi." "Pengeluar Sarung Tangan Perlu Beralih kepada Industri Bukan Perubatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Dinamik RCEP Rancakkan Pembangunan Ekonomi Serantau\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Krisis Rusia-Ukraine dan Varian Omicron Terus Beri Kesan kepada Kargo Udara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cWalapun data itu menunjukkan angka yang positif, namun trend itu merupakan kejatuhan ketara berbanding debnngan 11.2% tahun ke tahun pada bulan Februari 2022 dengan Asia dan Eropah mencatatkan penurunan terbesar dalam kapasiti.\u201c Syarikat penerbangan Asia Pasifik mencatatkan penurunan kuantiti kargo udara sebanyak 5.1% pada Mac 2022 berbanding bulan yang sama pada 2021, manakala kapasiti yang tersedia di rantau itu susut sebanyak 6.4% berbanding Mac 2021 yang menyaksikan penurunan terbesar dalam kalangan semua rantau. \u201cDasar sifar-COVID di tanah besar China dan Hong Kong memberi kesan kepada prestasi.\u201c" "2022 Kebangkitan Semula Pengusaha Bas Ekspres\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMeskipun belum dapat menutup kerugian namun keadaan itu sedikit sebanyak melegakan mereka. Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa), Laili Ismail menyatakan bahawa tahun ini merupakan tahun kebangkitan buat semua pengusaha bas ekspres. \u201cSaya rasa, selepas dua tahun COVID-19, tahun ini merupakan tahun kebangkitan dan tahun permulaan bagi pengusaha bas untuk bangkit semula memberi khidmat kepada masyarakat yang berulang-alik dari desa ke kota, dari kota ke desa.\u201cAlhamdulillah, pada tahun ini kita dapat menyediakan perkhidmatan bas kepada penumpang-penumpang yang nak balik beraya sempena Aidilfitri.\u201c" "Petronas Dagangan, Petros Lengkapkan Pemindahan Perniagaan dan Operasi LPG Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "MYEG Lancar \u201cCompare by MYEG X NFT Pangolin\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPengerusi Eksekutif, Datuk Norraesah Mohamad menyatakan bahawa MYEG komited untuk memupuk penggunaan NFT dalam kalangan orang ramai. \u201cInisiatif Compare by MYEG X BFT Pangolin merupakan peluang bagi memperkenalkan NFT dan faedahnya kepada pangkalan pengguna MYEG. \u201cDengan menyediakan NFT yang siap sedia, percuma serta boleh disesuaikan kepada pengguna Compare by MYEG, kami akan memberi mereka pendedahan awal kepada penempaan NFT termasuk menunjukkan bahawa penggunaan NFT adalah agak mudah.\u201c" "Isu Bekalan Cip Jualan Proton Merosot April 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cKeadaan masih tidak menentu sepanjang tahun ini dan industri kereta berada di bawah tekanan daripada peningkatan kos, namun syarikat sedang mengusahakan langkah untuk mengatasi isu ini bagi memastikan pelanggan kami mendapat produk dan nilai terbaik di Malaysia dan luar negara.\u201c Walaupun usaha terbaik dilakukan untuk memulihkan kekurangan dalam pengeluaran pada suku pertama, tetapi bulan April terbukti menjadi satu lagi bulan yang mencabar kerana isu bekalan cip terus mengehadkan bilangan kereta yang dijual." "\u201cManfaat Pembukaan Pintu Sempadan\u201c \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPadang Besar \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya semua pihak memanfaatkan sepenuhnya pembukaan pintu sempadan negara susulan pengisytiharan fasa endemik pasca COVID-19. Hal ini demikian kerana potensi dan peluang daripada pembukaan pintu sempadan negara sama ada dengan negara Thailand, Indonesia mahupun Singapura yang dioptimumkan dapat memberikan impak kepada ekonomi semua pihak. Titah baginda:\nUsahawan mikro misalnya, boleh mempertingkatkan pemasaran produk dengan lebih agresif ditambah dengan pemantapan aktiviti pemasaran dalam talian yang telah dilaksanakan sepanjang fasa pandemik. Fasa ini juga harus dilihat sebagai pembuka ruang dan peluang untuk menerokai bidang baharu dalam aktiviti ekonomi rentas sempadan sejajar dengan amalan norma baharu pasca COVID.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan menerima sembah mengadap Major Jeneral Polis (Bersara) Dato\u2019 Pichate Pitisathepan yang merupakan Ketua Koordinator Program Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Thailand dan isteri beliau, Datin Nuranee Pitisathepan bersempena dengan Program Mahabbah Aidilfitri MAIPs \u2013 Wilayah Satun anjuran MAIPs di Terminal ICQ sempadan Thailand-Malaysia di Wangprachan \u2013 Wang Kelian tengah hari semalam.\n\nTurut hadir dalam program sembah mengadap tersebut ialah Yang DiPertua Majlis Agama Islam Wilayah Satun, Haji Harun Umachi dan Ketua Pegawai Daerah Muang Satun, Pirapat Ngerncharoen serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan Ketua Penyelaras Malaysia bagi Jaringan MAIPs dengan Majlis Agama Islam 6 Wilayah Andaman Thailand, Datuk Zul Aznam Haron dan timbalannya, Ashidan Mat Isa.\nMenurut Haji Mohd Nazim, \u201cSebagai negeri paling utara Malaysia yang berjiran dengan negara Tailand khususnya pesisir lautan Andaman, MAIPs menggalas amanah menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang pengurusan hal ehwal Islam dan bahasa Melayu melalui kerjasama eratnya bersama-sama Majlis Agama Islam 6 Wilayah Andaman Thailand\u201c.\nPada tahun 2022, MAIPs mensasarkan pelaksanaan program Ziarah Mahabbah yang dilaksanakan saban tahun sejak 2015. Selain itu, MAIPs juga merancang untuk melaksanakan Seminar Ummatan Wahidah yang melibatkan MAIPs dan Majlis Agama Islam 6 Wilayah Andaman yang terdiri daripada Wilayah Krabi, Phuket, Trang, Phang Nga dan Ranong selain Satun yang menjadi urus setia perhubungan antara kedua-dua belah pihak." "Kadar Inflasi Dijangka Terus Meningkat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "MIDF Research Positif terhadap Prospek Masa Depan Industri Semikonduktor Global\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nFirma itu menyatakan bahawa jualan global untuk Mac 2022 adalah AS$50.6 bilion (RM221.50 bilion) dengan Amerika Syarikat (AS) mengetuai pasaran serantau dengan pertambahan jualan sebanyak 40.1%. \u201cKami kekal positif bahawa sektor ini dijangka terus berkembang pesat kerana peningkatan pengunaan dan integrasi, mengatasi sektor lain termasuk kewangan dan industri. \u201cAntara syarikat pilihan kami dalam sektor ini termasuk Inari Amertron Berhad dengan saranan \u2018beli\u2019 pada harga sasaran (TP) RM4.55 dan Unisem (M) Berhad dengan saranan \u2018beli\u2019 pada TP RM4.33 didorong peningkatan kandungan frekuensi radio (RF) dan penggunaan telefon pintar 5G." "Memahami Istilah Epidemik, Pandemik dan Endemik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAdalah terlalu awal bagi Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin, untuk menyatakan bahawa COVID-19 kini menjadi endemik di Malaysia pada akhir Oktober 2021 ketika angka kematian kes COVID-19 masih tinggi walaupun pada kadar vaksinasi yang tinggi. (Lim Kit Siang, 11 September 2021). \nMenteri Dalam Negeri, Dato\u2019 Seri Hamzah Zainuddin juga mengatakan bahawa \u201csemua pihak harus memainkan peranan bersama dengan menjadikan praktik mematuhi SOP normal, apalagi ketika wabak COVID-19 diumumkan sebagai endemik kemudiannya\u201c. (BERNAMA, 05/09/2021)\nSekiranya anda mengingati kisah penularan wabak SARS pada awal tahun 2000-an atau sedang membuat persiapan menentang virus COVID-19 sekarang, maka anda pasti pernah mendengar tentang perkataan epidemik dan pandemik. Dengan setiap penularan wabak biologi (outbreak, iaitu peningkatan mendadak dalam kejadian penyakit atau keadaan perubatan di tempat atau populasi tertentu/penularan), kita menemui kata-kata ini digunakan lebih kerap dan sering tidak tepat.\nMengapakah kita mudah terkeliru dengan istilah-istilah ini? Kedua-dua perkataan itu mengandungi sisipan kata \u201c-demik\u201c dan digunakan untuk penularan atau letusan wabak penyakit tetapi tidak sama. Kesamaan ini menyebabkan banyak orang menggunakan kedua-dua perkataan tersebut secara bergantian atau secara tidak betul. Walau bagaimanapun, perbezaan utamanya adalah mengenai skala.\nOleh itu, ayuh terokai kedua-dua perkataan itu. Untuk mengetahui maklumat yang lebih lanjut mengenai pengistilahan koronavirus, seseorang itu bolehlah merujuk glosari bagi semua perkara tentang COVID-19 di https://covid-19.moh.gov.my/.\nContohnya, terdapat penjelasan mengenai alat untuk membantu pernafasan seseorang (respirator) dan alat untuk menyegarkan udara (ventilator), kuarantin (quarantine) dan pengasingan (isolation).\nUntuk maklumat kecemasan kesihatan, keselamatan, dan perubatan atau kemas kini mengenai wabak koronavirus, silalah kunjungi Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC) dan Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO).\nApakah Epidemik?\nEpidemik ialah penyakit yang \u201cmenyerang kebanyakan orang pada masa yang sama dan merebak daripada seorang kepada seorang lain di kawasan di mana penyakit ini tidak menular secara kekal.\u201c Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa wabak itu berlaku di peringkat wilayah atau komuniti.\nMenurut Kamus Dewan, epidemik bermakna keadaan sesuatu penyakit berjangkit yang mudah merebak dalam kalangan penduduk sesuatu kawasan pada waktu yang sama ataupun wabak.\nEpidemik biasanya digunakan sebagai kata nama, yang bermaksud \u201cpenyebaran penyakit sementara\u201c. Contohnya, \u201cBandar ini dapat menghentikan wabak selesema sebelum merebak ke seluruh negeri\u201c.\nSecara metaforanya, epidemik ialah \u201cpenyebaran cepat atau peningkatan dalam kejadian sesuatu\u201c, biasanya dengan konotasi negatif atau humor. Epidemik gentrifikasi mempengaruhi masyarakat berpendapatan rendah atau penampilan hipster yang memberikan jalan kepada wabak fesyen 1990-an.\nKata \u201c-demik\u201c untuk epidemik dan pandemik berasal daripada perkataan d\u00eamos (Yunani), yang bermaksud \u201corang-orang dari suatu daerah\u201c. Orang Inggeris telah menguna pakai perkataan \u201cdemos\u201c itu untuk perkataan \u201cdemokrasi\u201c.\nApakah Pandemik?\nPenyakit pandemik pula ialah wabak yang telah tersebar di wilayah yang luas, iaitu lazim di seluruh negara, benua atau seluruh dunia. Pandemik juga digunakan sebagai kata nama, yang bermaksud \u201cpenyakit pandemik\u201c. WHO secara lebih khusus mendefinisikan pandemik sebagai \u201cpenyebaran penyakit baharu di seluruh dunia\u201c.\nPada 11 Mac 2020, WHO secara rasminya menyatakan bahawa wabak COVID-19 sebagai wabak akibat penyebaran dan keparahan penyakit global. Walaupun pandemik dapat digunakan untuk penyakit yang telah tersebar ke seluruh negara atau daratan besar lainnya, kata ini umumnya ditujukan untuk penyakit yang telah tersebar di seluruh benua atau seluruh dunia. Contohnya, \u201cSetelah mendokumentasikan kes di semua benua kecuali di Antartika, para saintis menyatakan bahawa penyakit ini sebagai wabak pandemik\u201c.\nSebagai kata sifat atau adjektif, pandemik juga dapat bererti \u201cumum\u201c dan \u201cuniversal atau menyeluruh\u201c juga sering dengan konotasi negatif. Namun begitu, pandemik tampaknya yang paling sering digunakan dalam konteks epidemiologi, yang berkaitan dengan penyakit berjangkit.\nPandemik juga diserap ke dalam bahasa Inggeris melalui bahasa Latin, iaitu pada tahun 1600-an. Seperti epidemik, pandemik juga berasal daripada perkataan p\u00e1nd\u0113mos (Yunani), \u201cawam atau umum.\u201c Seperti epidemik, pandemik pada asalnya digunakan untuk penyakit apabila orang Inggeris menggunakannya dalam bahasa mereka.\nApakah Endemik?\nEndemik ialah kata sifat (adjektif) yang bermaksud \u201csemula jadi, berasal dari, terbatas, atau tersebar luas di tempat atau populasi manusia\u201c. Endemik mungkin yang paling sering digunakan untuk menggambarkan penyakit yang lazim di atau terbatas pada lokasi, wilayah atau populasi tertentu.\nContohnya, penyakit malaria dikatakan sebagai endemik di kawasan tropika. Dalam konteks ini, endemik juga dapat digunakan sebagai kata nama. Penyakit endemik boleh disebut sebagai endemik.\nApabila digunakan untuk menggambarkan spesies tumbuhan atau haiwan yang hanya terdapat di tempat tertentu, endemik memiliki erti yang sama dengan maksud asli atau peribumi. Hal yang sama juga dapat diterapkan pada ciri manusia, tempat, atau situasi. Contohnya,\u201cKorupsi rasuah adalah endemik dalam organisasi itu ketika saya bekerja di sana\u201c.\nRekod pertama endemik dalam bahasa Inggeris berasal dari pertengahan tahun 1600-an, yang berasal daripada bahasa Yunani \u00e9nd\u0113m (os). Awalan \u201cen\u201c bermaksud \u201cmasuk atau dalam\u201c dan berakar daripada bahasa Yunani d\u0113m (os) yang bermaksud \u201corang\u201c. Oleh itu, makna asas endemik ialah \u201cdalam orang tertentu\u201c (atau \u201cdalam kawasan tertentu\u201c).\nBagaimanakah cara untuk menggunakan istilah epidemik, pandemik dan endemik?\nMemang mudah untuk kita menjadi keliru lagi mengelirukan mengenai perkataan tersebut. Pertama, perkataan itu mempunyai ciri \u201c-demik\u201c, yang menjadikannya sukar untuk mengeluarkan perkataan mana yang harus digunakan dan dalam situasi yang mana satu.\nNamun begitu, inilah peraturan praktikal yang berguna untuk menggunakan awalan dua perkataan ini, iaitu \u201cepi-\u201c dan \u201cpan-\u201c. Awalan \u201cepi-\u201c ialah daripada bahasa Yunani dan bermaksud \u201capabila, atas, dekat, pada,\u201c sementara \u201cpan-\u201c juga awalan Yunani, yang bermaksud \u201csemua\u201c.\nMengetahui akan hal ini, cuba fikirkan tentang epidemik sebagai permulaan sesuatu, iaitu sama ada penyakit atau kecenderungan yang merebak dengan cepat di dalam komuniti atau wilayah, sedangkan pandemik ialah penyakit yang menjadi wabak apabila menjangkau lebih banyak orang, terutama di seluruh benua atau seluruh dunia.\nSekiranya sesuatu itu merebak seperti api, perkara itu ialah epidemik. Sekiranya sesuatu telah merebak seperti api liar dan pada saat ini secara besar-besaran dalam jangkauan dan kesannya itu ialah pandemik.\nSekiranya jangkauannya di seluruh dunia, maka pandemik dapat menyebabkan penyakit menjadi endemik (sebagai tentangan daripada sebahagian besarnya dibendung atau dibasmi melalui penggunaan vaksin, misalnya). Untuk memudahkan lagi pemahaman, yang berikut ialah contoh lain dalam ayat, iaitu \u201cSemua sekolah di bandar ini terpaksa ditutup untuk mengelak penularan epidemik campak\u201c.\nWalaupun tidak diketahui dengan tepat di mana penyakit ini pertama kali muncul, pandemik selesema Sepanyol pada tahun 1918 dianggarkan telah menjangkiti sepertiga manusia di seluruh dunia. Polio ialah endemik di beberapa buah negara yang mana penyebarannya belum dapat dibendung.\nApakah perbezaan epidemik, pandemik, dan penularan?\nOrang ramai bukan sahaja menyebut COVID-19 sebagai endemik dan pandemik tetapi mereka juga menyebutnya sebagai wabak penularan. Wabak penularan merupakan \u201cpenularan atau kejadian tiba-tiba\u201c atau \u201cletusan.\u201c Ketika merujuk penyakit yang menular, wabak penularan secara khusus ialah peningkatan kes secara tiba-tiba, terutama ketika penyakit itu hanya atau sejauh ini mempengaruhi kawasan yang agak lokal.\nHal ini menjadikan wabak penularan penyakit hampir sama dengan epidemik. Dalam pertuturan dan penulisan seharian, secara umumnya orang ramai dapat merujuk\u00a0 penyebaran utama penyakit berjangkit sebagai wabak penularan untuk wabak koronavirus. Akan tetapi, dalam komunikasi rasmi, perubatan dan ilmiah, adalah penting untuk tidak mengelirukan epidemik tempatan (seperti penyakit yang hanya menyerang bandar) dengan pandemik kerana hal ini menunjukkan bahawa wabaknya merebak ke seluruh dunia." "Larangan Eksport Minyak Sawit Indonesia Dijangka Bertahan Sebulan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cSeandainya, perintah larangan itu berterusan, ia akan membawa kepada kemusnahan permintaan disebabkan harga minyak sawit yang lebih tinggi akibat kekurangan bekalan di dalam pasaran. \u201cBagaimanapun kerjaan Indonesia tidak menetapkan sebarang tarikh khusus untuk larangan itu namun dipercayai larangan itu akan diteruskan sehingga harga minyak masak pukal mereka menurun kepada paras Rp14 000.00 (RM4.22) seliter,\u201c katanya dalam satu nota kajian." "Perkhidmatan Pengkomputeran Awan (Cloud) Pemacu Tranformasi Digital Sektor Awam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Perkhidmatan Pusat Data Sektor Awam (PDSA)\u00a0 dinaikkan taraf kepada perkhidmatan Pengkomputeran Awan (CLOUD), khusus untuk kegunaan seluruh agensi kerajaan. Sehubungan dengan itu, Kerajaan memperkenalkan perkhidmatan bersepadu dikenali sebagai government hybrid cloud atau MyGovCloud yang menggabungkan perkhidmatan MyG[email\u00a0protected] dan Public Cloud oleh Cloud Service Provider (CSP).\nInisiatif MyGovCloud seiring dengan Inisiatif Kelima di bawah Teras 1 Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang menyasarkan 80% penggunaan storan Pengkomputeran Awan merentas sektor awam pada tahun ini.\nMyGovCloud bertujuan memacu transformasi digital sektor awam secara holistik yang dapat merangsangkan pertumbuhan ekonomi digital dan agenda pendigitalan ke seluruh negara.\nPemilihan CSP dibuat selepas syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan di dalam negara dan di luar negara mengemukakan cadangan (Request for Proposal (RFP)) sebelum penilaian dibuat secara telus melibatkan pelbagai pihak. Hasil penilaian ini, Kerajaan bersetuju melantik empat syarikat panel CSP untuk menyediakan perkhidmatan CLOUD yang terbaik, selamat dan terjamin.\nBagi memperkasakan MyGovCloud, khususnya dalam penyediaan perkhidmatan Public Cloud, Perjanjian Kontrak Berpusat Pengkomputeran Awan dikenali sebagai Cloud Framework Agreement (CFA) dimeterai antara kerajaan dengan CSP, berserta syarikat penyedia perkhidmatan CLOUD Bumiputera tempatan lantikan CSP dikenali sebagai Managed Service Provider (MSP).\nKontrak CFA bersama-sama kerajaan, CSP dan MSP melibatkan empat buah syarikat CSP iaitu Amazon Web Services Malaysia Sdn. Bhd., Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., Microsoft (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Telekom Malaysia Berhad.\nEmpat buah syarikat MSP terdiri daripada Cloud Connect Sdn. Bhd., Enfrasys Solutions Sdn. Bhd., Radmik Solutions Sdn. Bhd., dan Awantec System Sdn. Bhd.\nPenglibatan CSP dan MSP ini dijangka membuka potensi pelaburan dalam negara bernilai RM12 bilion hingga RM15 bilion menjelang tahun 2025.\nPelaburan ini akan menjadi \u201ctulang belakang\u201c kepada pembentukan sebuah ekosistem digital yang mampan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi\u00a0 lestari, sekali gus bakal menjadikan Malaysia sebagai hab digital utama di rantau ASEAN.\nInisiatif MyGovCloud diyakini dapat melahirkan lebih banyak pakar pengkomputeran awan menerusi latihan berterusan dan program pensijilan yang disediakan oleh CSP dan MSP.Hal ini juga dapat meningkatkan kompetensi dan keupayaan penjawat awam seiring dengan keperluan dan teknologi semasa.\nMelalui pelaksanaan CFA, agensi sektor awam akan dapat menikmati perkhidmatan CLOUD yang lebih baik, cepat, cekap dan bersasar pada harga yang kompetitif menerusi tawaran diskaun pukal oleh CSP dan MSP.\nSecara keseluruhannya, perjanjian CFA ini merupakan satu inovasi dalam perolehan perkhidmatan CLOUD di semua agensi sektor awam, seiring dengan pengukuhan fungsi dan peranan MAMPU pada masa depan." "Indeks Pengeluaran Perindustrian Meningkat 5.1%\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "BNM Dijangka Kekalkan OPR 1.75%\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Malaysia Airlines Tambah Penerbangan Terus dari KL ke Doha\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Laporkan Pendapatan Tahun Taksiran 2021 Selewat-lewatnya pada 15 Mei 2022 untuk Mengelakkan Penalti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin memberikan peringatan kepada semua pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan agar segera melaporkan pendapatan mereka yang layak dikenakan cukai untuk Tahun Taksiran 2021 selewat-lewatnya pada 15 Mei 2022 melalui e-Filing bagi mengelakkan sebarang penalti lewat kemuka Borang Nyata Cukai dikenakan.\nTarikh akhir pengemukaan Borang Nyata Cukai Tahun Taksiran 2021 (TT 2021) bagi kategori pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan ialah seperti yang berikut:\nSebagai panduan berkenaan pengemukaan Borang Nyata Cukai ini, pembayar cukai boleh merujuk kepada Program Memfail Borang Nyata bagi tahun 2022 yang boleh diakses dan dimuat turun menerusi pautan yang berikut:\ni. Bahasa Melayu:\nhttps://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2022_1.pdf\nii. Bahasa Inggeris:\nhttps://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2022_2.pdf\nSebagai makluman, hingga 30 April 2022, lebih 2.58 juta Borang Nyata Cukai Tahun Taksiran 2021 diterima daripada kategori pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan. Daripada angka ini, sekitar 2.48 juta atau lebih 96% Borang Nyata Cukai diterima melalui kaedah e-Filing manakala selebihnya secara manual atau Borang Kertas.\nSebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara ini boleh dikemukakan kepada HASiL melalui:\na) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);\nb) HASiL Live Chat; dan\nc) Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas\nhttps://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/." "MIDF Kekalkan Unjuran Pertumbuhan IPP pada 4.3%\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "BNM naikkan OPR kepada 2.0%\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Maybank Selaras BR, BLR Sebanyak 25 Mata Asas Berkuat Kuasa 13 Mei 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cBegitu juga, kadar asas Islam dan kadar pembiayaan asas akan dinaikkan sebanyak 25 mata asas daripada 1.75% kepada 2.00% dan daripada 5.40% kepada 5.65% masing-masing.\u201c Sehubungan dengan penyelarasan itu, kadar deposit tetap Maybank dan Maybank Islamic juga akan diselaras naik berkuat kuasa 13 Mei 2022." "RHB Naikkan Kadar BR, BLR BFR Sebanyak 25 Mata Asas\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Bahasa Kebangsaan Hak Kita Bersama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani \u2212 Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah Darul Aman (MPSPK), menganjurkan dengan jayanya Program Bimbingan Pemantapan Tatabahasa dan Penulisan Dokumen Rasmi untuk kakitangan MPSPK. Program ini bertujuan untuk menyegarkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan kakitangan MPSPK, yang secara langsung terlibat dalam penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu di tempat awam, yakni kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tersebut.\nSelain itu, pelaksanaan program ini juga adalah untuk mempertajam kebolehan berbahasa kakitangan MPSPK dalam penulisan dokumen rasmi bahasa Melayu. Program bimbingan pada kali ini menampilkan Munsyi Dewan (Bahasa), Encik Mohd. Januri Aiyub dari Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim (IPGKSAH), Sungai Petani, Kedah, sebagai pembimbing.\nSementara itu, Puan Norazuwa Pissal, Ketua Bahagian Sumber Manusia, MPSPK, menegaskan bahawa amatlah penting bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan\u00a0 digunakan dengan baik dan betul dalam penulisan dokumen rasmi agensi kerajaan seperti MPSPK. Beliau sendiri amat menggalakkan kakitangannya menulis dokumen rasmi dengan menggunakan istilah bahasa Melayu yang betul walaupun istilah tersebut merupakan istilah dalam bidang teknikal.\nSehubungan dengan itu juga, menurut Encik Mohd. Januri, pelaksanaan program bimbingan seperti ini seharusnya diadakan dari semasa ke semasa supaya dapat mengingatkan mereka yang lupa dan menyedarkan mereka yang leka bahawa bahasa kebangsaan itu hak kita bersama dan perlu dijaga serta diletakkan di tempat yang sewajarnya sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan negara. Semua orang perlu ada perasaan cinta dan sayang akan bahasa kebangsaan.\nUsaha untuk memantapkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam dokumen rasmi dan papan tanda di PBT seluruh negara bukan terletak di bahu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semata-mata. Tugas ini perlu digalas dan dipikul oleh semua pihak, termasuklah kesungguhan pihak PBT sementelah kuasa penguatkuasaan berada di bawah bidang kuasa PBT. Sekiranya kita waswas tentang penggunaan sesuatu kata atau istilah, rujuklah kamus dalam talian Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), DBP yang berada di hujung jari.\nProgram yang diadakan selama dua hari, iaitu pada 19 Januari 2022 dan 20 Januari 2022 di Dewan Bankuet, Aras 6, Wisma MPSPK ini disertai oleh 110 orang peserta, termasuklah kakitangan daripada cawangan MPSPK. Selain itu, Puan Roshasliza Sulaiman dari Unit Bahasa, DBPWU, turut memberikan taklimat tentang PRPM kepada para peserta." "Kerajaan Perlu Kawal Selia Kenaikan Harga Barang dan Imbangi Risiko Inflasi Tinggi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Harga Minyak Melonjak Selepas Dua Hari Merudum\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Jualan Perdagangan Borong dan Runcit Malaysia Meningkat 3.9% Suku Pertama 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cBagi perbandingan suku ke suku, indeks volum meningkat sebanyak 0.7%, disokong oleh perdagangan runcit yang meningkat sebanyak 3.2%,\u201c katanya dalam satu kenyataan mengenai indeks volum bagi perdagangan volum dan runcit untuk suku pertama tahun 2022 dengan tahun 2015 sebagai tahun asas. Pengembangan indeks volum kenderaan bermotor tahun ke tahun disumbangkan terutamanya oleh jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor serta penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor yang mencatatkan pertumbuhan positif masing-masing sebanyak 18.5% dan 16.5%, diikuti oleh jualan kenderaan bermotor sebanyak 9.1%. Beliau turut menambah jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal walau bagaimanapun menurun 14.1%." "Penapis Double HEPA dalam Penulenan Udara Coway untuk Perlindungan Berganda dan Ketenangan Fikiran\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Banyak rakyat Malaysia yang membuat keputusan untuk melindungi diri mereka dan orang tersayang dengan meningkatkan kualiti udara di sekeliling, terutamanya di ruang kediaman mereka dengan melabur dalam produk penulen udara. Sesungguhnya Coway diyakini sebagai sebuah syarikat yang merintis kecanggihan teknologi penulenan udara.\nSejak kebelakangan ini, rangkaian penulenan udara Coway, termasuk LOMBOK III dan STORM memberi nafas baharu kepada isi rumah di Malaysia dengan penapis Udara Zarahan Kecekapan Tinggi (HEPA) mereka yang terbukti menghasilkan udara yang lebih bersih dan sihat berlandaskan teknologi terkini. Sebagai contohnya, LOMBOK III mengubah teknologi penulenan udara dengan sistem plasma RBD dan penapis pemangkin antibakteria yang membasmi virus bawaan udara, bakteria dan kulat hitam hingga 99.9%.\nPada tahun ini, Coway mencapai satu lagi kejayaan sebagai peneraju pasarannya yang terbukti dengan pengenalan penapis Double HEPA bagi penulenan udaranya. Perkembangan terbaharu ini menggabungkan penapis Double HEPA baharu Coway dengan lapisan antibakteria tambahan dan lapisan antikulat yang memberikan perlindungan berganda. Tambahan lagi, penapis ini boleh menyahaktifkan daripada habuk ultra halus dengan saiz zarah hingga 99.999% dan hingga 0.01\u03bcm.\nPerkara yang paling menarik ialah kecekapan yang dicapai ini bukan hanya dari segi teori mahupun di atas kertas, tetapi terbukti secara saintifik dalam penyelidikan makmal di Korea Selatan bahawa penapis Double HEPA Coway mampu menyahaktifkan virus COVID-19 varian Omicron dan Koronavirus manusia hingga 99.999%, yang bukan sahaja meningkatkan perlindungan tetapi juga menawarkan sesuatu yang tidak dapat dibeli dengan wang, iaitu ketenangan fikiran.\nCoway yang ditubuhkan pada 1989 merupakan peneraju pasaran dalam pembuatan dan pengedaran peralatan keperluan rumah moden, termasuklah produk utamanya, iaitu penulenan air dan udara yang dihasilkan di pusat penyelidikan dan pembangunan canggihnya di Universiti Kebangsaan Seoul di Korea Selatan.\nKini, Coway berusaha memastikan gaya hidup dan persekitaran penggunanya lebih indah dan lebih baik. Inilah yang menjadikan Coway terkenal di seluruh dunia. Selain diiktiraf kerana keprihatinannya menerusi rangkaian produk berkualiti tinggi, Coway juga terkenal dengan perkhidmatan pelanggan selepas jualan yang cemerlang dan modul perniagaan berasaskan sewa yang inovatif, yang mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah syarikat yang benar-benar prihatin.\n\u201cDi Coway, kami sangat teruja dengan kejayaan baharu ini, yang akan menawarkan pelanggan kami dimensi serba baharu dalam teknologi penulenan udara. Selama ini, pengguna di seluruh dunia meyakini kelebihan produk Coway yang mampu meningkatkan kualiti kehidupan mereka, dan kemajuan baharu ini membuktikan komitmen berterusan kami kepada mereka. Mereka akan menikmati ketenangan fikiran kerana mengetahui udara di sekeliling mereka benar-benar bersih dan tulen, hasil daripada penapis Double HEPA baharu kami, lantas memberikan Double HEPA-ness dan perlindungan mereka,\u201d kata Kyle Choi, Pengarah Urusan Coway Malaysia.\nSemua penulen udara Coway STORM dan LOMBOK III baharu kini dilengkapi dengan teknologi Penapis Double HEPA Coway. Sementara itu, pengguna sedia ada bagi model tertentu LOMBOK I, II, III dan STORM boleh menaik taraf penulenan udara mereka dengan teknologi baharu ini mulai bulan September 2022.\nPerkhidmatan nilai tambah ini disediakan secara percuma kepada semua pelanggan Coway yang membeli model penulenan udara Coway yang terpilih. Inilah masa terbaik untuk memanfaatkan teknologi penapis Double HEPA. Untuk maklumat lanjut mengenai penapis Double HEPA Coway, kunjungi bilik pameran Coway yang terdekat atau layari www.coway.com.my untuk maklumat lanjut." "Gas Malaysia Catat Untung dan Hasil Lebih Tinggi pada Suku Pertama Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Celcom Sasar Tingkat Liputan 4G di Sabah dan Sarawak Menjelang Akhir Tahun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Kelulusan Tambahan kepada Tiga Syarikat Kredit Komuniti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)\u00a0 mengumumkan kebenaran tambahan kepada tiga buah Syarikat Kredit Komuniti (KK) yang merupakan pemegang lesen Pemberi Pinjam Wang sedia ada untuk menjalankan urus niaga pemberian pinjaman wang secara dalam talian seperti yang berikut:\ni. JCL CREDIT LEASING SDN. BHD (NO. LESEN: WL3960)\nAras bawah dan Aras 1, Wisma BH\nNo. 361, Jalan Pudu\n55100 KUALA LUMPUR\nhttps://jcl.my/\nii. SEAMONEY CAPITAL MALAYSIA SDN. BHD (NO. LESEN: WL7728)\nAras 26, Menara Southpoint, Mid Valley City\nLingkaran Syed Putra\n59200 KUALA LUMPUR\nhttp://scredit.com.my/\niii. MELATI PANORAMA SDN.BHD (NO. LESEN: WL7349)\n51-7, The Boulevard, Mid Valley City\n59200 KUALA LUMPUR\nhttps://www.mpsbcredit.com\nUsaha ini merupakan inisiatif berterusan KPKT bagi memastikan perlindungan kepada peminjam serta Syarikat Kredit Komuniti melalui kaedah pemberian pinjaman secara dalam talian yang lebih telus dan berintegriti serta mematuhi segala peruntukan yang ditetapkan sepertimana dalam Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 [Akta 400], Peraturan- Peraturan Pemberi Pinjam Wang (Kawalan dan Pelesenan) 2003 serta Akta lain yang berkaitan.\nMana-mana Syarikat Kredit Komuniti selain yang dinyatakan seperti di Lampiran A adalah tidak dibenarkan menjalankan urusniaga pemberian pinjaman wang secara dalam talian. Jika didapati bersalah, syarikat tersebut boleh dikenakan hukuman denda atau penjara ataupun kedua-duanya berdasarkan peruntukan-peruntukan di bawah Akta 400.\nSenarai syarikat Kredit Komuniti yang diberikan kelulusan untuk menjalankan urus niaga pemberian pinjaman wang secara dalam talian akan dikemaskini dari semasa ke semasa dan sebarang maklumat terkini boleh diperoleh melalui laman web www.kpkt.gov.my\nSebarang pertanyaan lanjut berhubung perkara ini, orang awam boleh menghubungi talian 03-8891 4667/4662/4695/4694/4682/4683 atau mengemukakan pertanyaan melalui Sistem Aduan Bersepadu KPKT di pautan aduan.kpkt.gov.my untuk tindakan sewajarnya." "Pelbagai Insentif Bantu Pekebun Kecil Kelapa Sawit\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato\u2019 Sri Dr. Wee Jeck Seng \u00a0merasmikan Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2022 di Pekan Nanas, Johor anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).\nKementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui MPOB sedang giat berusaha meneruskan aktiviti Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) di seluruh negara melalui program latihan, taklimat dan promosi bagi sektor pekebun kecil. Bagi meringankan beban pekebun kecil dalam melaksanakan Pensijilan MSPO, kerajaan juga\u00a0 menyediakan menyediakan pelbagai insentif merangkumi pembiayaan kos latihan, kos pengauditan, kos peralatan perlindungan diri, papan tanda kebun dan rak penyimpanan bahan kimia.\nHingga 31 Mac 2022, jumlah keluasan kebun yang diusahakan oleh pekebun kecil persendirian di negeri Johor adalah sebanyak 159 487 hektar. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 44 824 orang pekebun kecil dengan keluasan 118 092 hektar\u00a0 memperoleh MSPO, iaitu bersamaan dengan 74% daripada keluasan kawasan tanaman sawit yang diusahakan.\nKerajaan telah menubuhkan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) untuk membantu mengurangkan kos pengangkutan, mendapatkan harga pasaran buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi dan menggalakkan penjanaan pendapatan dan pengagihan dividen kepada ahli-ahlinya. Penyertaan pekebun kecil dalam KPSM bertujuan meningkatkan produktiviti tanaman sawit dan pendapatan melalui pelaksanaan Amalan Pertanian Baik (GAP) dan aktiviti ekonomi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan.\nKPSM menjalankan aktiviti utama jualan berkelompok buah tandan segar (BTS) melalui penubuhan Pusat Timbang. Sehingga Mac 2022, sebanyak 65 buah pusat timbang telah siap dibina sepenuhnya di seluruh negara dengan jumlah jualan buah tandan segar (BTS) mencecah 82 612.37 tan. Purata jualan bagi satu pusat timbang adalah 400 tan sebulan.\nHingga bulan Mac 2022 sebanyak 69 KPSM telah ditubuhkan di seluruh negara iaitu 24 di Semenanjung Malaysia, 27 di Sabah dan 18 di Sarawak. Di negeri Johor\u00a0\u00a0sebanyak lima KPSM telah ditubuhkan iaitu KPSM Kluang Utara Berhad, KPSM Daerah Kulaijaya Berhad, KPSM Daerah Pontian Berhad, KPSM Yong Peng Utara Berhad, dan KPSM Daerah Segamat Berhad. Keahlian bagi lima KPSM ini keseluruhannya berjumlah 318 orang pekebun kecil.\nKementerian melalui MPOB menyediakan bantuan seperti Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe), Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS). Selain itu, kerajaan juga telah mengumumkan dana bantuan baharu, iaitu Program Tanaman Kontan B40 Pekebun Kecil Sawit (TKB40).\nDengan adanya pelbagai insentif yang disediakan oleh Kementerian yang memberi tumpuan kepada pembangunan pekebun kecil tanaman sawit, ia dijangka menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan kualiti pengeluaran hasil sawit serta pendapatan pekebun kecil.\n\u00a0\n(Sumber gambar: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Facebook Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato\u2019 Sri Dr. Wee Jeck Seng)" "Jawatankuasa Dakwaan Buruh Paksa Selesaikan Isu Minyak Sawit dan Getah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nWashington, D.C \u2013\u201cSaya amat mengalu-alukan keputusan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa kerja dengan Kerajaan Malaysia bagi menangani isu dakwaan buruh paksa. Ini adalah langkah wajar untuk menyelesaikan isu berkaitan komoditi negara khususnya minyak sawit dan getah,\u201d ujar YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.\n\u201cDalam semangat Keluarga Malaysia, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Sumber Manusia YB Datuk Seri M. Saravanan kerana mendapat komitmen daripada CBP untuk menubuhkan jawatankuasa kerja ini semasa lawatan beliau ke AS yang sedang berlangsung. Semasa lawatan kerja saya ke AS yang dijadualkan bermula dari 11 Mei hingga 16 Mei 2022, Kementerian akan lakukan perkara susulan lebih dekat dengan pihak berkuasa di sini demi mencari penyelesaian segera. Saya juga akan mengadakan beberapa mesyuarat penting dan saya yakin resolusi yang baik boleh dicapai dalam tempoh terdekat,\u201d tambah beliau\n\u201cSeperti yang saya nyatakan sebelum ini, kebanyakan dakwaan buruh paksa yang dibuat oleh NGO dan kumpulan berkepentingan lain, tidak disahkan oleh pihak berkuasa AS. Namun tindakan ke atas produk Malaysia seperti minyak sawit dan produk minyak sawit telah diambil dan ini merupakan langkah yang kurang adil kepada industri komoditi negara kita. Kerajaan Malaysia telah mengambil pelbagai inisiatif bagi memantau dan mencegah buruh paksa dengan terus komited untuk menghapuskan buruh paksa dan buruh kanak- kanak melalui ratifikasi Konvensyen Asas Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) No. 29 (Buruh Paksa) dan Konvensyen No.182 (Worst Forms of Child Labour),\u201d kata beliau.\n\u201cDi samping itu, Malaysia\u00a0 meratifikasi Konvensyen No.98 (Perundingan Bersama), Konvensyen No.100 (Imbuhan Sama Rata) dan Konvensyen No.138 (Umur Minimum) dan Konvensyen no.131 (Gaji Minimum). Konvensyen-konvensyen ini menyediakan panduan dalam menentukan kewajipan Malaysia berkenaan dengan perlindungan hak pekerja asing. Pada masa ini, Malaysia juga telah terlibat dalam Projek BRIDGE dengan ILO, bertujuan menyokong usaha dalam memerangi buruh paksa di bawah Protokol 29 (Protokol tambahan kepada Konvensyen 29) sebagai panduan tentang langkah-langkah untuk menghapuskan semua bidang buruh paksa (pencegahan, perlindungan terhadap mangsa dan akses kepada keadilan).\u201c Beliau menambah.\n\u201cMalaysia juga telah menjalankan kajian menyeluruh mengenai The Labour Situation in Palm Oil Plantation Sector in Malaysia pada tahun 2018. Dapatan kajian ini telah dihantar ke Jabatan Buruh Amerika Syarikat (US DOL) dan diterbitkan sebagai dokumen awam. Pada 19 November 2021, Kerajaan Malaysia juga telah bersetuju untuk meratifikasi Protokol ILO 29 yang merupakan Protokol 2014 kepada Konvensyen Buruh Paksa, 1930, serta penyertaan Malaysia sebagai negara Pathfinder di bawah SDG Alliance 8.7 sebagai sebahagian usaha berterusan usaha kerajaan membasmi buruh paksa di Malaysia,\u201d jelas beliau lagi.\nBeliau menegaskan, \u201cKerajaan melalui Kementerian akan terus memastikan industri komoditi negara yang merupakan antara penyumbang utama kepada pemulihan ekonomi negara pasca-COVID-19 akan terus dilindungi dari propaganda mengelirukan dari pelbagai pihak. Saya juga ingin menyeru agar semua rakyat Malaysia bersama-sama KPPK dalam usaha menentang kempen antisawit dan terus mempromosikan kebaikan minyak sawit Malaysia yang penuh kebaikan.\u201d" "MOTAC Lancar Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 dan Lagu Cuti-Cuti Malaysia Versi Kedua\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia hari ini melancarkan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 dan lagu Cuti-Cuti Malaysia versi kedua dalam usaha menyemarakkan pelancongan domestik seiring dengan peralihan ke fasa endemik.\nPelan Pemulihan Pelancongan 2022 yang merupakan kesinambungan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0) ialah satu inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Industri Pelancongan melibatkan penyaluran insentif kepada rakyat Malaysia dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat.\nPemberian diskaun, baucar dan rebat yang bermula pada 29 April 2022 melibatkan dua kluster, iaitu Kluster Pengangkutan Darat dan Kluster Persatuan Pelancongan. Inisiatif ini bakal diperluas secara berperingkat melibatkan Kluster Pengangkutan Udara dan Kluster Penginapan selain Kluster Pelancongan Minat Khas merangkumi segmen selam skuba, inap desa, beli-belah, dan taman tema.\nMenteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri berkata, pelancaran pelan ini bertujuan menarik minat orang ramai untuk terus membuat tempahan tiket pengangkutan atau pakej pelancongan pada harga diskaun istimewa.\n\u201cLangkah ini seterusnya mampu merangsangkan permintaan industri pelancongan untuk menyokong mereka yang terjejas agar kekal berdaya saing,\u201c kata beliau.\nDi bawah Kluster Pengangkutan Darat, Tourism Malaysia menjalinkan kerjasama strategik bersama-sama perkhidmatan KLIA Ekspres dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam penawaran diskaun tambang antara RM10 hingga RM15 yang bakal memanfaatkan seramai 64,675 pengguna. Pembelian tiket boleh dibuat sama ada menerusi aplikasi KLIA Ekspres dan KTM Mobile, secara dalam talian ataupun mesin tiket.\nDi bawah Kluster Persatuan Pelancongan pula, Tourism Malaysia sekali lagi bekerjasama dengan Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound Cina Malaysia (MICA), Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA), Persatuan Pengembaraan dan Pelancongan India Malaysia (MITTA), dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) dalam penawaran pelbagai pakej destinasi pelancongan domestik oleh ejen pelancongan berdaftar menerusi aplikasi e-marketplace Shopee.\nRakyat Malaysia boleh mendapatkan diskaun sebanyak RM100.00 untuk satu transaksi pembelian pakej pelancongan bernilai RM200.00 ke atas dari 29 April 2022 hingga 31 Oktober 2022 bagi tempoh perjalanan hingga 31 Disember 2022. Setiap pengguna atau pemegang MyKad layak untuk menebus sekali sahaja diskaun ini dan pembelian perlu dibuat melalui Shopee Pay. Dianggarkan sebanyak 14 925 rakyat Malaysia bakal menerima manfaat ini dengan sasaran penjualan pakej percutian keseluruhan bernilai RM2 985 000.00\nSeiringdengan fokus kerajaan untuk memperkasakan pelancongan domestik, turut dilancarkan ialah lagu Kempen Cuti-Cuti Malaysia versi kedua bertajuk Menemui Semula nyanyian penyanyi Aina Abdul yang bergenrekan pop etnik dengan kombinasi aliran world music, hip hop dan electronic dance music (EDM). Lirik lagu ditulis oleh James Boyle hasil gubahan komposer Ananth Kumar.\nLagu tersebut yang juga menggabungkan alunan muzik tradisional seperti seruling, gamelan, erhu, kompang, dan gendangantara lain menyelitkan mesej penerokaan pengalaman melancong di dalam negara bagi menikmati khazanah alam semula jadi bersama keluarga tersayang.\nVideo muzik tersebut boleh dilayari di laman YouTube Malaysia Truly Asia di https://www.youtube.com/watch?v=tYQ6CJAvKDA." "Dampak Penggandaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nProses morfologi dalam bahasa Melayu meliputi pengimbuhan, pemajmukan, penggandaan dan pembentukan akronim. Dengan itu, terhasillah kata terbitan, kata majmuk, kata ganda dan akronim.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\nSelain menghasilkan kata ganda, biasanya proses penggandaan mengubah maksud kata dasar. Sila lihat contoh yang berikut:\nOrang itu sopan. (manusia)\nOrang-orang dipacakkan di sawah.\u00a0 (tiruan orang)\n\u00a0\nDia suka makan kuih bingka. (penganan)\nKuih-muih yang dibuatnya sedap. (pelbagai jenis kuih)\n\u00a0\nTempat itu gelap. (tidak terdapat cahaya)\nTempat itu gelap-gelita. (sangat gelap)\n\u00a0\nDia malu. (berasa aib, segan)\nJangan malu-malu. (nampaknya sangat malu)\n\u00a0\nOrang itu telah saya bantu. (menolong)\nKita harus bantu-membantu. (saling menolong)\n\u00a0\nBajunya kuning. (warna seperti warna kunyit)\nTanah itu kekuning-kuningan. (agak kuning)\n\u00a0\nRumahnya cantik. (sebuah rumah atau lebih)\nRumah-rumahnya cantik. (lebih daripada sebuah rumah)\n\u00a0\nRumah di sana cantik. (sebuah rumah atau lebih)\nRumah di sama cantik-cantik. (lebih daripada sebuah rumah)\n\u00a0\nDia tersenyum. (melahirkan senyuman)\nDia tersenyum-senyum. (mengeluarkan senyuman yang berulang-ulang)\n\u00a0\nDia bertanya tentang hal itu. (meminta penjelasan)\nDia tertanya-tanya tentang hal itu.\u00a0 \u00a0 (selalu bertanya)\n\u00a0\nSiapakah boleh masuk? (orang mana)\nSiapa-siapa pun boleh masuk. (barang siapa)\n\u00a0\nRumah itu besar. (tidak kecil)\nMajlis besar-besaran itu berjaya. (meluas dan bersungguh-sungguh)\n\u00a0\nRumah lama itu telah roboh. (panjang masanya)\nLama-lama dia akan faham. (akhirnya)\n\u00a0\nDia datang lagi. (tambahan kepada yang sedia ada)\nLagi-lagi dia datang. (asyik)\n\u00a0\nDia datang pada waktu pagi. (waktu selepas matahari terbit)\nPagi-pagi dia ke pasar. (pagi sekali)\n\u00a0\nDia baru balik. (belum lama)\nBaru-baru ini, gejala sosial berleluasa.\u00a0\u00a0\u00a0 (akhir-akhir)\n\u00a0\nPeperiksaan akhir tahun bermula. (penghabisan)\nAkhir-akhir ini, kecurian menjadi-jadi.\u00a0\u00a0\u00a0\u00a0 (baru-baru)\n\u00a0\nDia datang sekali. (satu kali, bersama)\nDia datang sekali-sekala. (kadang-kadang)\nJangan sekali-kali berbuat jahat. (sama sekali)\n\u00a0\nDia duduk di bawah pokok. (lawan berdiri)\nDia duduk-duduk di bawah pokok. (berehat-rehat mengambil angin)\n\u00a0\nAda kalanya kata ganda mempunyai maksud yang lebih sempit daripada kata yang tidak berganda. Sila lihat contoh yang berikut:\n\u00a0\njarang\nKain bajunya jarang. (tidak kedap tenunannya)\nRambutnya jarang. (tidak lebat)\nDia jarang datang. (tidak sering)\n\u00a0\njarang-jarang\nDia jarang-jarang datang. (tidak sering)\nsiang\nMajlis diadakan pada waktu siang. (lawan malam)\nWah, siangnya mendapat jemputan! (lebih awal daripada sepatutnya)\n\u00a0\nsiang-siang\nWah, siang-siang mendapat jemputan!\u00a0\u00a0 (lebih awal daripada sepatutnya)\n\u00a0\nAda kalanya penggandaan mengubah golongan kata sesuatu kata. Sila lihat contoh yang berikut:\nSiapakah boleh masuk? (kata ganti nama tanya)\nSiapa-siapa pun boleh masuk. (kata ganti nama umum)\n\u00a0\nRumah lama itu telah roboh. (kata adjektif)\nLama-lama dia akan faham. (kata adverba)\n\u00a0\nPeperiksaan akhir tahun bermula. (kata adjektif)\nAkhir-akhir ini, kecurian menjadi-jadi.\u00a0\u00a0\u00a0\u00a0 (kata adverba)\n\u00a0\nDalam bahasa Melayu, terdapat juga kata ganda semu, iaitu kata ganda wajib dengan maksud yang tersendiri. Kata-kata ini hanya wujud dalam bentuk berganda. Sila lihat contoh yang berikut:\nbiri-biri (sejenis binatang ternakan)\nkura-kura/kekura (sejenis haiwan reptilia)\nparu-paru (organ pernafasan vertebrata)\nsibur-sibur (sejenis serangga)" "MOTAC Anjur Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 19 Mei-21 Mei 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu akan menganjurkan program Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 selama tiga hari bermula dari 19 Mei 2022 hingga 21 Mei 2022\u00a0 di Dataran Drawbridge, Kuala Terengganu, Terengganu.\nMatlamat utama penganjuran program ini adalah untuk mendekatkan masyarakat umum khususnya Keluarga Malaysia yang berada di Negeri Terengganu dengan kegiatan seni budaya dan pelancongan Malaysia serta membuka ruang kembali untuk menjanakan ekonomi negara bagi para penggiat industri yang berada di negeri itu.\nIni merupakan penganjuran kali pertama di negeri pantai timur, khususnya di negeri Terengganu. Pemilihan negeri ini sebagai lokasi majlis ini juga mengambil kira populasi penduduk dominan yang meraikan acara ini selain dikelilingi lokasi-lokasi tarikan utama pelancong serta masyarakat di Terengganu yang kaya dengan aktiviti seni, budaya dan adat tradisional masyarakat tempatan, disamping itu juga dalam usaha untuk mempromosikan negeri Terengganu dalam aspek kebudayaan, kesenian dan pelancongan.\nPelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung antaranya Rewang Raya, Kenduri Rakyat, Pertandingan Lumba Perahu, Himpunan Keris, Gateh Busana, Kambing Cantik, Pertandingan Ayam Ratu, Zoo Kampung, Wau Gegok Damak, Tok Dekor Jangok, Tewah Ngail, Gasing Terbang, Bot Berhias, dan persembahan kesenian. Turut akan berlangsung ialah Bengkel dan Kelas Masakan Warisan, Demonstrasi Makanan Warisan, ceramah agama \u201cSyawal Disambut dengan Penuh Kesyukuran dan Kegembiraan\u201d serta Pertandingan Memancing dengan tema memancing sambil mengenakan pemakaian kain pelikat dan semutar beramai-ramai.\nAcara kemuncak program ini ialah Majlis Perasmian yang akan disempurnakan oleh YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri pada 20 Mei 2022 jam 9.00 malam.\nKeluarga Malaysia yang lengkap vaksinasi dijemput hadir ke program ini dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan." "Paratha Bukan Roti Canai Semata-mata!\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nFatihah Frozen Food Sdn Bhd memperoleh beberapa pengiktirafan dan anugerah, antaranya termasuklah Anugerah Usahawan TEKUN Cemerlang (2013); Anugerah Inovasi Pertanian dan Industri Asas Tani Jaya Peringkat Negeri Selangor selama tiga tahun berturut-turut (2014\u20132016); Anugerah Inovasi (Royale Paratha Durian) Peringkat Negeri Selangor (2015); Anugerah Usahawan Cemerlang SDSI (2016); Technopreneur Award MARDI (2017); TESCO Top 10 SME Award (2016, 2017, 2018); Lulu Hypermarket Top 5 SME Award (2019), dan Penghargaan Khas Mydin (2019).\nPada 23 November 2021 yang lalu, dalam Anugerah Perdagangan Dalam Negeri (APDN 2021), Fatihah Frozen Food Sdn Bhd menerima Anugerah Perdana (PKS) Produk Terbaik; iaitu Royale Paratha Fatihah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Anugerah tersebut disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob.\nPada 21 Februari 2022 dalam Anugerah Kecemerlangan Halal Dunia 2021, Fatihah Frozen Food Sdn Bhd menerima Anugerah Kecemerlangan Makanan dan Minuman Halal (PKS) daripada HDC oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia YAB Dato\u2019 Sri Mohamed Azmin Ali.\nMelihat kepada trend semasa yang menunjukkan permintaan terhadap produk makanan yang cepat dan pantas, Fatihah Frozen Food Sdn Bhd cuba mempelbagaikan idea dengan menghasilkan pastri sejuk beku buatan sendiri. Pada masa ini, Fatihah Frozen Food Sdn Bhd mengeluarkan lebih daripada 20 produk pastri untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.\nJom, cuba!" "\u201cNak wangi? SugarBomb jelah!\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\n\n\nBeliau tentunya memperoleh pekerjaan yang setanding dengan kelulusan beliau dalam bidang kejuruteraan aeronautik dari Universiti of Bristol, United Kingdom sekembalinya beliau ke tanah air pada tahun 2015. Namun, naratifnya berbeza apabila beliau gagal mendapatkan\npekerjaan atas alasan syarikat mengutamakan pekerja yang berpengalaman selain peluang pekerjaan dalam bidang kejuruteraan aeronautik yang agak terhad.\nPengalaman bersahabat dengan \u00a0Muhammad Zamir Othman, mahasiswa pada peringkat PhD dalam bidang kimia ketika di Universiti of Bristol, memperkenalkan kepada beliau teknik membuat minyak wangi. Secara tidak langsung, mencetuskan ilham kepada beliau untuk menceburi perniagaan \u00a0minyak wangi.\nBeliau tentunya memperoleh pekerjaan yang setanding dengan kelulusan beliau dalam bidang kejuruteraan aeronautik dari Universiti of Bristol, United Kingdom sekembalinya beliau ke tanah air pada tahun 2015. Namun, naratifnya berbeza apabila beliau gagal mendapatkan pekerjaan atas alasan syarikat mengutamakan pekerja yang berpengalaman selain peluang pekerjaan dalam bidang kejuruteraan aeronautik yang agak terhad.\nPengalaman bersahabat dengan \u00a0Muhammad Zamir Othman, mahasiswa pada peringkat PhD dalam bidang kimia ketika di Universiti of Bristol, memperkenalkan kepada beliau teknik membuat minyak wangi. Secara tidak langsung, mencetuskan ilham kepada beliau untuk menceburi perniagaan \u00a0minyak wangi.\nSugarBomb ditubuhkan secara tidak rasmi pada tahun 2015 di United Kingdom. Makna asal SugarBomb dicipta daripada dua perkataan yang berbeza, iaitu \u201cSugar\u201d dan \u201cBom\u201c. SugarBomb mewakili yang terbaik dalam industri minyak wangi, selain bermaksud \u201charuman manis yang akan meletupkan industri minyak wangi.\u201c\n\u201cNak wangi? SugarBomb jelah\u201d frasa pendek inti pati SugarBomb sebagai jenama dan sikap yang dibentuk dengan tiga nilai teras \u2013 \u00a0yakin, kreatif dan komited. \u201cNak wangi? SugarBomb jelah\u201d ialah konsep di sebalik jenama untuk mencapai harga minyak wangi yang berpatutan agar semua orang boleh menikmati bau yang unik dengan kualiti produk yang tinggi. Kecantikan sebenar tidak lengkap tanpa minyak wangi. Minyak wangi tidak kelihatan tetapi baunya dianggap aksesori yang tidak dapat dilupakan.\nSebelum menjadi pengasas SugarBomb, dari tahun 2010 hingga tahun 2014, Ahmad Azhari Rosli melanjutkan pengajian beliau pada peringkat ijazah Sarjana Kejuruteraan Aeronautik di Universiti of Bristol di United Kingdom. Semasa melanjutkan pengajian pada peringkat sarjana, beliau menjadi penyelia pembersihan di Bristol Art and Performance College dari tahun 2013 hingga tahun 2014.\nPada tahun 2015, Azhari menyertai JOM SHIPPING dan menjadi Pengedar Kebangsaan di Malaysia. Azhari dan Muhammad Zamir Othman, seorang daripada pengasas SugarBomb bertemu di United Kingdom. Mereka tertarik dengan potensi pemasaran produk berasaskan wangian seperti minyak wangi." "Funding Societies Masuk Vietnam untuk Menerajui Industri Perbankan Digital Asia Tenggara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u00a0\u2014\u00a0 \u00a0Funding Societies (juga dikenali sebagai Modalku di Indonesia), platform pembiayaan digital PKS terkemuka di Malaysia dan Asia Tenggara dilancarkan secara rasmi di Vietnam, menandakan pengembangan pasarannya yang kelima.\n\u00a0\nBerbekalkan keazaman untuk menangani jurang pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Vietnam, di mana landskap PKS sedang berkembang pesat tetapi masih kurang mendapat perhatian dari segi kewangan, langkah syarikat teknologi kewangan itu memasuki pasaran negara tersebut bertepatan dengan usahanya untuk terus berkembang ke seluruh Asia Tenggara.\nMenurut Kementerian Perancangan dan Pelaburan Vietnam, 98% daripada perniagaan yang beroperasi di negara itu pada 2020 adalah PKS, yang menggaji lebih daripada 5.6 juta pekerja dan menyumbang lebih daripada AS$241 bilion (RM1.045 trilion) atau 40% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Vietnam. Walau bagaimanapun, jurang antara jumlah PKS berdaftar dan jumlah perniagaan yang masih beroperasi semakin meluas dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, dengan hanya 54% PKS berdaftar masih lagi aktif pada 2019. Akses kepada pembiayaan masih lagi menjadi salah satu daripada halangan utama terhadap pertumbuhan PKS di Vietnam, dan masalah ini diburukkan lagi oleh pandemik COVID-19.\nSebagai penyedia pembiayaan digital PKS terkemuka di Asia Tenggara, Funding Societies berfungsi sebagai platform yang boleh dipercayai untuk pembiayaan PKS dengan model kredit yang dipacu oleh Kecerdasan Buatan (AI), menawarkan pinjaman berjangka tradisional, penyelesaian pembiayaan boleh diubah suai, dan pelbagai pilihan pembiayaan berasaskan perdagangan, seperti pembiayaan invois. Dalam tempoh tujuh tahun ia beroperasi, syarikat itu telah mengagihkan lebih AS$2 bilion (RM8.67 bilion) pembiayaan perniagaan menerusi lebih daripada 5 juta pinjaman di seluruh rantau ini.\nPengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Funding Societies, Kelvin Teo berkata, \u201cSejak penubuhan kami pada tahun 2015, wawasan kami ialah untuk memartabatkan masyarakat di Asia Tenggara. Oleh itu, Vietnam sentiasa menjadi sebahagian daripada pelan hala tuju kami. Selaras dengan pemulihan COVID-19, ini adalah masa paling sesuai untuk kami membentuk sebuah pasukan yang mantap dengan veteran teknologi kewangan tempatan Ryan Galloway, dan mendapatkan pelaburan daripada syarikat teknologi gergasi VNG. Kami yakin bahawa Vietnam akan menjadi satu daripada pasaran terbesar kami memandangkan potensinya yang sangat tinggi.\u201d\nPengarah Negara Funding Societies Vietnam, Ryan Galloway berkata, \u201cPKS di Vietnam tidak mempunyai akses yang sama terhadap pasaran modal teroka dan peringkat awal seperti pasaran Asia Tenggara yang lain, namun pasaran Vietnam adalah sama kompetitif, menjadikan usahawan Vietnam lebih cekal berusaha dalam keadaan yang serba kekurangan. Kami melihat terdapat banyak peluang di Vietnam dan kami gembira kerana dapat menyokong perkembangan pesat landskap PKS di negara ini sambil kami terus memenuhi keperluan jutaan PKS di seluruh Asia Tenggara.\u201d\nMengulas mengenai perkara ini, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Funding Societies Malaysia, Wong Kah Meng berkata, \u201cKami gembira dengan pengembangan ini kerana ia mencerminkan komitmen kami yang berterusan ke arah menyediakan akses perkhidmatan pembiayaan digital kepada PKS di Malaysia dan di seluruh pasaran Asia Tenggara yang lebih luas. Menerusi keberadaan kami di rantau ini, kami dapat menyokong pertumbuhan PKS di Malaysia dan Asia Tenggara dengan lebih baik selaras dengan pengembangan perniagaan mereka di seluruh rantau ini.\u201d" "Funding Societies Modalku Platform Pembiayaan Digital PKS Terbesar di Asia Tenggara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nFunding Societies Modalku ialah platform pembiayaan digital PKS terbesar di Asia Tenggara. Funding Societies Modalku dilesenkan di Singapura, Indonesia dan negara Thai yang berdaftar di Malaysia dan beroperasi di Vietnam. Platform ini disokong oleh SoftBank Vision Fund 2, SoftBank Ventures Asia, Sequoia Capital India, Alpha JWC Ventures, SMBC Bank, Samsung Ventures, BRI Ventures, Endeavor, SGInnovate, Qualgro, dan Golden Gate Ventures.\nSyarikat teknologi kewangan ini menyediakan pembiayaan perniagaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang menerima dana daripada para pelabur individu dan institusi. Dalam tempoh tujuh \u00a0tahun, Funding Societies Modalku membantu membiayai lebih lima juta perjanjian perniagaan dengan jumlah pembiayaan lebih daripada RM9.5 bilion.\nFunding Societies Modalku menerima anugerah Penyertaan Digitalisasi Perkhidmatan Runcit oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia semasa INVESTSMART\u00ae FEST 2019, Anugerah Teknologi oleh Kewangan Lembaga Kewangan Singapura (MAS) pada tahun 2016, Anugerah Kecemerlangan PKS Global semasa ITU Telekom Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2017, KPMG Fintech100 pada 2018, Brands for Good pada tahun 2019, dan diiktiraf sebagai Syarikat Pemula Terbaik ASEAN oleh Global Startup Awards pada tahun 2020.\nPada tahun 2021, Funding Societies Modalku menerima pujian terhormat sebagai Penginovasi Digital Bertanggungjawab Terbaik oleh World Bank IFC SME Finance Forum dan memenangi anugerah Teknologi Kewangan ASEAN MAS untuk kali kedua.\nUntuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Funding Societies Malaysia, sila kunjungi https://fundingsocieties.com.my" "Pelancaran Logo Barang Subsidi dan Barang Kawalan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri\nPerdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melancarkan\nPenggunaan Logo Barang Subsidi bertujuan supaya pengguna\nlebih maklum akan subsidi yang disediakan oleh kerajaan untuk\nmeringankan kos sara hidup golongan sasar. Manakala, penggunaan\nLogo Barang Kawalan pula bertujuan memberikan kesedaran\nkepada pengguna akan hak-hak pengguna, khususnya hak ke atas\nbarang kawalan yang dilindungi di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961\n[Akta 122]. Ini merupakan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi\nmembendung ketirisan dan penyalahgunaan barang-barang subsidi dan\nkawalan. Komoditi yang terlibat dalam projek rintis ini ialah gula, minyak\nmasak dan tepung Gandum.\nPada hari ini juga diadakan jualan barangan keperluan asas\n(MyGrocer) di perkarangan Pejabat KPDNHEP Putrajaya. Program\nOutreach Sara Hidup melalui kerjasama strategik antara Majlis Tindakan\nSara Hidup Negara dengan Kementerian Wilayah Persekutuan (MyGrocer)\nini merupakan satu inisiatif di bawah agenda kos sara hidup melalui\npenjualan barangan dapur harian pengguna tanpa penglibatan orang tengah\ndalam rantaian pembekalan. Harga barangan yang dijual kepada pengguna\nadalah lebih rendah sebanyak, iaitu antara 5% hingga 20% daripada harga pasaran.\nHingga kini, sebanyak 56 Program Perumahan Rakyat dan\nPerumahan Awam (PPR/ PA) di Lembah Klang telah mendapat manfaat\ninisiatif di bawah MyGrocer ini." "Harga Minyak Tinggi Dijangka Kekal dalam Tempoh Lebih Lama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Sektor Animasi Negara Mampu Tembusi Pasaran Antarabangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Alibaba Anjur Semula LiveNOW untuk Kemahiran E-niaga Interaktif Rakyat Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Alibaba Group (Alibaba) hari ini mengumumkan penganjuran semula Program Latihan LiveNOW (LiveNOW Programme)nya, iaitu inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang dikhususkan untuk masyarakat Malaysia. Sebagai lanjutan program LiveNOW sulung yang diadakan pada tahun 2020, edisi 2022 akan dimodelkan semula untuk peningkatan kemahiran dan kemahiran semula lebih banyak rakyat Malaysia, termasuk kumpulan B40 dan komuniti lain yang kurang mendapat perhatian, serta membantu mereka untuk meraih potensi peluang dalam dunia e-niaga interaktif.\nDireka bentuk untuk individu yang berminat dalam meneroka kerjaya sebagai penstriman langsung KOL (pemimpin pendapat utama) atau pembikin video dalam talian, LiveNOW 2022 juga relevan kepada pemilik perniagaan, terutamanya usahawan mikro, yang cenderung untuk mengehoskan penstriman langsung mereka atau menghasilkan video e-niaga mereka untuk meningkatkan penglibatan pengguna.\nDitaja sepenuhnya oleh Alibaba, latihan ini akan dikendalikan dalam tiga bahasa, iaitu bahasa Melayu (BM), bahasa Inggeris (BI) dan bahasa Mandarin. Latihan dalam BM adalah pada 2 Julai 2022; latihan dalam BI adalah pada 25 Jun 2022 dan latihan dalam bahasa Mandarin adalah pada 9 Julai 2022. Semua sesi latihan akan diadakan secara dalam talian untuk menampung penyertaan meluas peserta di seluruh negara.\n\u201cPeningkatan mobile\u2013first membawa maksud bahawa format penglibatan pengguna seperti penstriman langsung dan video dalam talian semakin berjalin dengan perniagaan,\u201d jelas Jess Lew, Pengurus Negara, Tmall Taobao World Malaysia, unit perniagaan Alibaba yang menyokong program LiveNOW.\nBeliau menambah, \u201cDidorong oleh maklum balas positif yang kami terima pada tahun 2020, kami berasa teruja untuk menganjurkan semula program CSR LiveNOW kami pada tahun ini untuk membuka ruang kepada potensi peluang dalam e-niaga interaktif yang lebih meluas kepada rakyat Malaysia, sebagai sebahagian daripada komitmen Alibaba bagi membolehkan pengaksesan ekonomi digital untuk semua.\u201d\nDi samping modul asal mengenai penstriman langsung KOL yang dibawakan oleh LiveNOW 2020, latihan pada tahun ini akan dipertingkat yang merangkumi komponen pembikinan video dalam talian memandangkan penggunaan video pendek yang semakin meningkat sebagai kaedah pemasaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini.\nPara peserta akan memperoleh peluang untuk menimba ilmu daripada penceramah undangan pakar, termasuklah wakil-wakil dari Taobao Malaysia dan Lazada Malaysia, selain para KOL yang akan berkongsi pengalaman langsung dan pelbagai input mereka.\nMeneruskan Latihan LiveNOW sulung, yang berjaya menginkubasikan 200 KOL penstriman langsung, Program pada tahun ini menetapkan sasaran untuk melatih hingga 300 orang peserta melalui kolaborasi dengan MODEN KOL Academy selain sokongan daripada Human Resource Development Corporation (HRD Corp), MYNIC Berhad, Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec) dan, Perbadanan Pembangunan BeliaPulau Pinang (PYDC).\nJerry Hang, Pengasas MODEN KOL Academy, berkata: \u201cPada tahun ini, di samping kemahiran penstriman langsung, peserta akan turut mempelajari erti sebenar menjadi seorang KOL tulen dan perbezaan keadaannya daripada menjadi seorang pempengaruh semasa program sehari penuh kami. Selain itu, memandangkan para pengguna hari ini menuntut lebih banyak kandungan video dan kajian yang menunjukkan bahawa sebahagian besar daripada mereka adalah lebih berkeyakinan untuk membeli sesuatu produk selepas menonton video, kami akan memasukkan latihan dalam pembikinan video e-niaga untuk membina pengetahuan asas para peserta dalam bidang ini.\u201d\nProgram pada tahun ini juga telah dioptimumkan untuk mencipta lebih banyak peluang pascalatihan kepada para peserta untuk menukarkan pembelajaran yang telah diperoleh mereka dalam bentuk amali. Mereka yang telah melengkapkan latihan dialu-alukan untuk menyertai Komuniti LazTalent, iaitu kumpulan KOL penstriman langsung akar umbi Lazada.\nDi samping itu, mereka juga boleh menyertai Lazada sebagai penjual di Lazada Marketplace dan menikmati manfaat serta sokongan secara langsung di bawah \u2018\u201dHari-Harimau New Seller Kickstarter Package\u201d oleh Lazada Malaysia. Mereka juga akan menerima sijil digital rasmi untuk mengiktiraf penyertaan mereka.\nPendaftaran dalam talian bagi Program Latihan LiveNOW 2022 (https://bit.ly/livenow2022) kini dibuka untuk semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas. \u201cSiapa cepat, dia dapat!\u201d\nUntuk maklumat lanjut tentang kandungan Latihan, ulang siar bagi pengenalan webinar yang diadakan pada hari ini tersedia di saluran YouTube TV3 \u2013 https://www.youtube.com/watch?v=MUUNs0KA7YM" "Kenaikan Harga Bahan Mentah Punca Harga Kenderaan Dijangka Meningkat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cHarga logistik semua naik manakala harga wang kita pun menurun berbanding nilai matawang negara luar. Situasi itu yang meningkatkan harga pembelian bahan-bahan mentah, cukai jualan dan alat ganti kenderaan. \u201cBekalan cip komputer daripada luar negara pun tersangkut, sekarang ini pun susah nak dapat. \u201cStok (bekalan cip) tidak mencukupi, jadi itu yang akan menyebabkan pengeluaran kereta terganggu.\u201d" "Penyatuan Keluarga Malaysia Berteraskan Bahasa Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Sama ada sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan atau bahasa negara, ketiga-tiga konsep yang diwakili oleh bahasa Melayu itu menunjukkan kesatuan yang bermatlamatkan kecintaan dan semangat nasionalisme yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia. Apatah lagi bahasa Melayu telah dijamin kedudukannya seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Sehubungan dengan itu, setiap ahli Keluarga Malaysia perlu memahami dan menghayati maksud nasionalisme yang telah diperuntukkan melalui undang-undang tersebut.\nDemikian harapan yang disuarakan oleh YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika bersiaran dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia, di Angkasapuri pagi tadi. Beliau berkata demikian dalam usaha DBP menyemarakkan lagi promosi memperkukuh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menerusi topik perbincangan, iaitu \u201cBahasa Melayu Bahasa Negara\u201d.\nTambahnya lagi, seluruh ahli Keluarga Malaysia diseru agar membina serta memperkukuh keyakinan terhadap keupayaan bahasa Melayu dalam menjanakan impak dalam pelbagai sektor termasuklah dalam bidang ilmu dan ekonomi.\nKerajaan melalui DBP akan terus mendinamikkan perkhidmatan dan penyampaian bagi memastikan bahasa Melayu terus berperanan dalam menyatukan seluruh Keluarga Malaysia. Selain itu, sifat menghormati serta bangga akan bahasa dan budaya kebangsaan juga perlulah ada dalam jiwa seluruh Keluarga Malaysia agar usaha mendaulatkan bahasa ini akan dapat direalisasikan.\nBeliau juga menegaskan bahawa institusi Parlimen juga telah diberikan perhatian oleh DBP. Desakan rakyat yang semakin bimbang akan penggunaan bahasa yang kurang santun dan bahasa yang tidak tersusun yang berlaku dalam sidang dewan perlu diperbaiki dengan segera dan dengan cara ini pemimpin akan lebih dihormati dan diyakini. Kesedaran dalam kalangan para pemimpin juga penting agar pemupukan semangat dan cinta akan negara dalam kalangan rakyat dapat dilaksanakan.\nKatanya lagi, DBP sudah melaksanakan tanggungjawabnya dengan menerbitkan pelbagai bahan sumber mengenai bahasa termasuklah seperti buku tatabahasa, kamus, istilah dan pelbagai lagi. Oleh itu, para pengguna mestilah menyedari akan hal ini dan menggunakan dengan sebaik-baiknya bahan yang telah dihasilkan dan diterbitkan dalam pelbagai medium oleh DBP. Sehubungan dengan itu, menjadi tanggungjawab kepada seluruh Keluarga Malaysia agar segala usaha yang dilakukan oleh DBP dapat mencapai matlamatnya." "Produktiviti Buruh Meningkat Suku Pertama 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Pemain Industri Tepung Jamin Bekalan Mencukupi di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "IMF Yakin Ekonomi Malaysia Berkembang pada Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam memberikan penilaian terhadap prospek pertumbuhan Malaysia, IMF menyatakan bahawa kadar vaksinasi yang tinggi di negara ini dan sekatan pergerakan yang terhad juga akan menyokong pengembangan ekonomi. Namun begitu, agensi yang berpangkalan di Washington itu mengakui bahawa terdapat risiko penurunan yang besar termasuk daripada pandemik COVID-19 dan perang di Ukraine, kesukaran serupa yang dihadapi oleh kedua-dua negara maju dan membangun di seluruh dunia. \u201cPertumbuhan Malaysia diunjurkan kukuh dalam jangka sederhana walaupun risiko kesan ekonomi jangka panjang adalah nyata.\u201c" "Northport Rangkul Anugerah IAPH 2022 Sustainability Award\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPengumuman pemenang anugerah telah dibuat semasa Majlis Makan Malam Gala yang diadakan sempena dengan Persidangan Pelabuhan Dunia IAPH 2022 pada 17 Mei 2022 di Vancouver, Kanada. Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof menerima anugerah bagi pihak syarikat daripada Ketua Bahagian Pembangunan Sumber Manusia TrainForTrade Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD), Mark Assaf." "Jualan Kenderaan UMW Holdings Merosot pada April 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Jualan kenderaan UMW Holdings Bhd merosot sebanyak 32 600 unit pada bulan lepas.\u00a0 Pada bulan Mac, jualan kenderaan syarikat tersebut adalah\u00a0 sebanyak 35 246 unit. Kemerosoton tersebut disebabkan oleh gangguan\u00a0 pengeluaran\u00a0 yang disumbangkan oleh isu rantaian bekalan yang menjejaskan industri automotif. Walau bagaimanapun, pada bulan April, momentum jualan yang kukuh\u00a0 berterusan apabila UMW Toyota Motor mencatatkan jualan yang bertambah baik.\nPresiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW, Datuk Ahmad Fuaad Kenali menyatakan walaupun terdapat banyak masalah yang dihadapi industri automotif, syarikat itu mencatatkan jualan positif untuk UMW Toyota (UMWT) dan Perodua pada bulan April 2022. Hal itu terjadi disebabkan oleh isu rantaian bekalan yang berterusan yang mengganggu pengeluaran pada bulan April.\n\u201cKedua-dua syarikat bekerjasama rapat dengan pembekal mereka untuk meminimumkan kesan ke atas jadual pengeluaran mereka dan mempercepat penghantaran kenderaan kepada pelanggan kami. \u201cKami ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi terhadap produk dan perkhidmatan kami,\u201c\u00a0 ujar beliau.\nUMWT mencatatkan jualan sebanyak 6946 unit pada bulan April 2022. Hingga kini, (YTD) April 2022, UMWT menjual sebanyak 29 393 unit, 11.2% lebih tinggi daripada 26 431 unit yang dijual dalam tempoh yang sama pada tahun 2021. Kumpulan UMW menambah, Toyota Vios, Yaris, Corolla Cross, dan Hilux adalah antara model terlarisnya pada bulan April.\n\u201cKempen jualan berterusan untuk Hari Raya seperti \u2018Bersama Lebih Bermakna\u2019 dijangka memacu jualan,\u201c kata beliau lagi.\n\u00a0\nSementara itu, Kumpulan UMW turut menyatakan bahawa syarikat bersekutunya Perusahaan Otomotif Kedua Sdn Bhd (Perodua) mencatatkan jualan sebanyak 25 654 unit pada bulan April 2022, 4.1% lebih rendah daripada 26 759 unit yang didaftarkan pada bulan sebelumnya. Bagi empat bulan pertama 2022, Perodua menjual sebanyak 87 278 unit, 11.5% lebih tinggi daripada 78 308 unit yang didaftarkan pada tempoh yang sama 2021.\nJualan Perodua terus dipacu oleh model terlarisnya, iaitu Myvi, Axia dan Bezza. Dengan permintaan yang bertambah baik dan prospek positif bagi industri automotif di Malaysia, Perodua\u00a0 menetapkan sasaran jualan yang lebih tinggi sebanyak 247 800 unit untuk tahun 2022. Jualan yang lebih tinggi akan didorong oleh pengecualian cukai jualan dan pengenalan model baharu dan dipertingkat," "Hapus AP Makanan Tidak Kekang Krisis Kenaikan Harga Barang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "17 125 Wanita Berjaya Dibantu Melalui Inisiatif Wanita [email\u00a0protected]\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Terengganu \u2013 YB Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) (dalam gambar) merasmikan kursus bimbingan perniagaan program MyKasih Kapital yang merupakan sebuah inisiatif di bawah Program Wanita [email\u00a0protected] yang disertai oleh 200 peserta wanita dalam membantu mereka yang memerlukan terutamanya yang terkesan akibat pandemik COVID-19.\nKursus bimbingan ini adalah persediaan asas bagi golongan untuk mempersiapkan diri untuk mereka menceburi bidang keusahawanan. Antara bidang yang boleh diceburi bagi memulakan perniagaan termasuklah e-dagang, dropship,\u00a0 danperniagaan kecil-kecilan yang bukan di bawah skim keusahawanan di Kementerian Keusahawanan, TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Peserta MyKasih Kapital akan dinilai, dipantau dan akan mengikuti kursus-kursusbersesuaian bagi mempersiapkan diri dalam menceburi bidang perniagaan.\nObjektif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui inisiatif MyKasih Kapital adalah untuk memperkasakan ekonomi kumpulan sasar, meningkatkan taraf hidup mereka yang memerlukan bantuan segera kewangan melalui bantuan MyKasih Kapital.\nPendekatan ini adalah untuk mengoptimumkan potensi individu berdasarkan kemahiran mereka agar tidak terus bergantung kepada bantuan kerajaan sepenuhnya. Dengan menjalani kursus dan bimbingan dapat memberikan para peserta keyakinan serta dapat menempuhi cabaran dalam perniagaan.\nYB Datuk Seri Rina memaklumkan bahawa program ini yang menyasarkan 2000 orang wanita dapat menjana pendapatan melalui peluang pekerjaan dan keusahawanan bagi tempoh 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang bermula 1 September 2021 sehingga kini sebanyak 7290 orang wanita berjaya dibantu untuk mendapat peluang menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan/keusahawanan dalam sektor informal dan juga tawaran pekerjaan dalam sektor formal.\nDi samping itu program Keusahawanan Wanita [email\u00a0protected] membimbing dan membangunkan sebanyak 9835 wanita melalui kursus-kursus keusahawanan dan bimbingan permulaan perniagaan melalui kolaborasi strategik pelbagai jabatan, agensi dan syarikat korporat. Setakat ini program ini berjaya mengumpul sebanyak17125 orang usahawan wanita.\n\u201cIni merupakan usaha berterusan Kerajaan untuk memartabatkan golongan wanita dalam aspek sosioekonomi. Pihak Pertubuhan Bukan Kerajaan dan syarikat serta orang perseorangan adalah amat dialu-alukan untuk melaksanakan program-program bersesuaian untuk manfaat kumpulan sasar khususnya wanita. Diharapkan dengan adanya kerjasama ini, golongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 khususnya wanita dapat dibantu dan secara tidak langsung dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara\u201d ujar YB Datuk Seri Rina semasa merasmikan Kursus Keusahawanan Wanita [email\u00a0protected] di Kuala Terengganu hari ini.\nDalam perkembangan lain, Datuk Seri Rina juga turut menyarankan wanita agar menyertai Skuad Waja sebagai langkah mengurangkan pelbagai isu yang membelenggu wanita seperti keganasan rumah tangga, gangguan seksual, diskriminasi gender dan sebagainya. Skuad Waja merupakan inisiatif KPWKM untuk melindungi golongan yang sering menjadi mangsa keganasan, terutamanya wanita.\nSkuad Waja berperanan sebagai rujukan terdekat dalam masyarakat, khasnya individu yang ingin mendapatkan maklumat mengenai isu-isu berkaitan dengan keganasan atau yang memerlukan bantuan dari segi khidmat nasihat dan perlindungan. Inisiatif ini sekali gus dapat mewujudkan komuniti yang bermaklumat, prihatin dan peka terhadap persekitaran. Semua ahli akan dibimbing melalui Modul Skuad Waja yang dibangunkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita dengan kerjasama Institusi Sosial Malaysia (ISM). Hingga 12 Mei 2022, sebanyak 141 308 orang telah mendaftar sebagai ahli Skuad Waja terdiri daripada 30 721 orang lelaki dan 110 587 orang wanita.\n\u00a0\n\u00a0\n(Sumber gambar: Facebook Jabatan Pembangunan Wanita)" "PJKM Catat Jualan Lebih daripada RM54 Juta\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cHampir 2.8 juta pengunjung telah hadir membeli barangan keperluan di PJKM sepanjang tempoh itu membuktikan program ini berjaya mencapai matlamatnya untuk membantu meringankan beban kos sara hidup terutama buat golongan berpendapatan rendah (B40) di negara ini.\u201c Hingga kini, sebanyak 240 rakan strategik telah mengambil bahagian melaksanakan program PJKM di seluruh negara yang menawarkan harga keperluan asas lebih rendah hingga 30% berbanding harga biasa." "Forum Ekonomi Dunia Ruang untuk Malaysia Bekerjasama dengan Masyarakat Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Perlis Sedia Menyambut Kedatangan Pelancong\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHat Yai \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa negeri Perlis kini\u00a0 sudah bersedia untuk menerima kedatangan pelancong dan menawarkan lebih banyak destinasi baru pelancongan menarik yang wajar dikunjungi oleh warga daripada selatan Thai selepas hampir dua tahun ditutup akibat pandemik COVID-19.\nBaginda bertitah ketika berangkat bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di perkarangan Robinson Department Store Hat Yai, Thailand yang disambut oleh Datuk Bandar Hat Yai Thailand, Police Lieutenant General Sakorn Thongmunee.\nTurut hadir menyambut keberangkatan baginda ialah Timbalan Datuk Bandar Hat Yai, Ahmad Ben Ali, Setiausahanya Manop Pengchum dan ahli-ahli Majlis Perbandaran Hat Yai serta juga Store General Manager Central Retail Corporation, Jutarat Panmueng.\nDatuk Bandar Hat Yai Thailand, Police Lieutenant General Sakorn Thongmunee mengalu-alukan keberangkatan Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda dan memaklumkan bahawa keberangkatan tetamu diraja dari Malaysia ini menghubungkan kembali pelancongan antarabangsa, merangsang ekonomi dan membina kembali keyakinan untuk para pengunjung Malaysia melawat Hat Yai yang terletak di dalam Wilayah Songkhla.\nThongmunee menyatakan bahawa masyarakat Hat Yai sentiasa bersedia untuk menyambut kembali kedatangan para pelawat Malaysia dan juga dari semua negara lain. Premis perniagaan, hotel serta lokasi-lokasi produk tarikan pelancong di Hat Yai juga sudah bersedia untuk mengamit serta menjaga kehadiran semua dengan sebaik mungkin bagi memberikan keselesaan sepanjang masa mereka berada di sana.\nPada masa yang sama, Thongmunee memohon pelbagai pihak khususnya mereka yang terlibat dalam sektor pelancongan untuk terus bekerjasama dengan pihak kerajaan bagi menyediakan segala kemudahan dan keselamatan untuk para pelancong seperti pada masa lalu sebelum krisis COVID-19.\nSementara itu, Ketua Polis Perlis, DCP Dato\u2019 Surina Saad yang mengiringi baginda berkata urusan sempadan di Padang Besar juga kini mula sibuk kembali selepas dibuka semula baru-baru ini setelah terpaksa ditutup kepada pelancong selama lebih dua tahun akibat COVID-19.\nDalam pada itu, pemerhatian Tuanku Raja Muda pada kali ini melihat masyarakat tempatan di sana menjaga SOP walaupun dalam kesibukan bagi meningkatkan pemulihan ekonomi. Mereka amat berdisplin dalam aspek pemakaian pelitup separuh muka dan\u00a0 walaupun\u00a0 jumlah kes harian jangkitan COVID-19\u00a0 sudahpun berada dalam keadaan agak terkawal. Tuanku Raja Muda turut menasihatkan masyarakat supaya terus mematuhi segala SOP termasuklah bagi mereka yang mengembara ke luar negara." "PRPM: Enjin Carian Bahasa Bertaraf Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Portal Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) merupakan portal yang telah dibina oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi menepati kehendak pasaran bahasa yang memerlukan kamus serta istilah dalam bentuk digital kepada pengguna. PRPM ialah enjin carian bahasa terunggul negara dan bertaraf dunia yang mengandungi kamus, istilah, ensiklopedia, bahasa sukuan, puisi dan lain-lain untuk pengguna internet membuat rujukan yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Enjin carian ini membolehkan pengguna mencari maklumat secara holistik yang merentasi semua pangkalan data DBP.\nKewujudan portal ini perlu disedari dan dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh pengguna di seluruh negara agar penggunaan bahasa Melayu yang tepat menurut piawaian yang ditetapkan dapat direalisasikan. Penggunaan bahasa yang tidak santun, kasar dan sebagainya tidak akan wujud sekiranya pengguna bersungguh-sungguh dalam memupuk rasa cinta dan bertanggungjawab terhadap bahasa kebangsaan negara. Segala kemudahan yang berkaitan dengan capaian sumber mengenai bahasa telah pun dijayakan oleh DBP dan menjadi tanggungjawab rakyat pula untuk bersama-sama melestarikan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan berkesan.\nDemikianlah antara inti pati menarik yang dikongsi oleh Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP, menerusi tajuk \u201cBahasa Kita, Tanggungjawab Kita\u201d dalam slot Jendela Fikir. Program ini bersiaran secara langsung dari studio BERNAMA RADIO pada pagi tadi.\nSehubungan dengan itu, beliau berharap agar semua pihak terus memberikan sokongan kepada DBP dan bahasa Melayu khasnya dengan memanfaatkan kemudahan yang telah disediakan oleh DBP ini. Dengan cara ini, pada masa akan datang bahasa Melayu yang menjadi bahasa perpaduan akan dapat menjadi bahasa Melayu tinggi apabila digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang ilmu. Penggubalan istilah oleh DBP juga berupaya memenuhi keperluan pelbagai bidang ilmu.\nKatanya lagi, DBP telah melantik banyak pakar bidang tertentu bagi menggubal istilah tertentu dalam bidang ilmu berdasarkan kepakaran mereka. Sesi mesyuarat, perbincangan, perbengkelan serta pengesahan istilah yang digubal turut diselaraskan oleh Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, sebelum diputuskan satu-satu istilah tersebut untuk digunakan oleh pengguna.\nPRPM merupakan portal yang telah dibina oleh DBP bagi menepati kehendak pasaran bahasa yang memerlukan kamus serta istilah dalam bentuk digital yang dapat diakses oleh pengguna. Sejak dibina, PRPM yang merupakan enjin carian bahasa terunggul negara dan bertaraf dunia ini mengandungi kamus, istilah, ensiklopedia, bahasa sukuan, puisi dan lain-lain dalam bahasa Melayu. Enjin carian ini membolehkan pengguna mencari maklumat secara holistik yang merentasi semua pangkalan data DBP.\nPenggubalan istilah pelbagai bidang ilmu sentiasa berlangsung di DBP kerana keperluan yang pesat dalam bidang ini. Namun begitu, segala usaha DBP ini tidak akan dapat memberikan impak yang bagus sekiranya masih ada banyak pihak yang tidak mengetahui mengenainya dan cara merujuknya dengan betul. Dengan adanya PRPM, kini semua kerja menghasilkan penulisan serta penyelidikan menjadi lebih pantas dan mudah.\nBegitu juga halnya dengan korpus DBP. Melalui korpus DBP, pengguna turut dapat merujuk himpunan makalah dan sebagainya mengenai sesuatu isu atau kumpulan bahan untuk kajian. Kedua-dua contoh portal ini boleh dilayari oleh pengguna melalui prpm.dbp.gov.my dan http://sbmb.dbp.gov.my/korpusdbp." "Malaysia Mampu Harungi Tekanan Inflasi dengan Baik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "MSM Malaysia Minta Kerajaan Semak Harga Gula\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nWalau bagaimanapun, beliau berkata semakan semula itu perlu dilakukan sewajarnya. \u201cJaminan kami adalah untuk negara dan rakyat, namun pada masa yang sama, kami juga perlu menjalankan operasi yang meraih keuntungan. \u201cKami sedang dalam perundingan dengan kerajaan agar mereka memahami tekanan kos kami, (daripada) penghantaran barangan muatan, tenaga gas dan pergerakan pertukaran asing.\u201c\u00c2" "Keuntungan Bersih Pharmaniaga RM27.73 Juta Suku Pertama 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Xsolla Membantu Pembangun Permainan Video di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Xsolla, sebuah syarikat perdagangan permainan video global mengumumkan untuk mengembangkan cara penyelesaian pengedaran mudah alihnya dan digitalnya, demi menawarkan lebih banyak peluang kepada pembangun di Malaysia untuk melancarkan dan mengembangkan permainan mereka di seluruh dunia.\nSelain itu, Xsolla memperkenalkan ciri pembayaran baharu untuk membantu para pembangun mempromosikan jenama mereka melalui jualan dan pengedaran NFT. NFT masih merupakan sesuatu yang agak baharu di Malaysia. Namun, NFT menampakkan permulaan yang menggalakkan. Hal ini memandangkan sebanyak 23.9% pengguna Internet di Malaysia kini memiliki NFT.\nDemikian menurut data penyelidikan Finder.com. Finder meninjau sebanyak 28 000 individu daripada 20 buah negara melalui tinjauan secara dalam talian bagi membandingkan tahap pemilikan NFT yang menunjukkan Malaysia berada di tangga ketiga dari segi pengambilan NFT.\nMelalui ciri baharu NFT, Xsolla menawarkan peluang yang lebih bagus kepada para pembangun di Malaysia untuk menjanakan pendapatan melalui jenama mereka, memandangkan NFT dianggap satu cara untuk menghasilkan aset digital unik yang boleh mewakili pemilikan kedua-dua aset dunia nyata dan digital.\n\u201cXsolla komited menyediakan perkhidmatan dan sokongan terbaik kepada para pembangun dunia, untuk membantu mereka menjangkau lebih banyak pemain di kawasan geografi yang lebih luas,\u201d kata Chris Hewish, Presiden Xsolla.\n\u201cKami akan terus membangunkan ciri baharu untuk menangani cabaran utama dari segi pemasaran, pelancaran dan penjanaan pendapatan melalui permainan video. Di samping itu, kami akan mengemukakan lebih banyak tawaran pada tahun 2022 yang akan memberikan kelebihan kepada rakan-rakan kongsi kami dalam pasaran permainan yang sentiasa berkembang.\u201d\nPenyelesaian pengedaran mudah alih dan digital mereka yang diperluas adalah seperti yang berikut:\nAnalitis Terkembang\nPembangun boleh menghasilkan corong telus yang akan meningkatkan kecekapan dalam menarik pemain baharu ke Kedai Web mereka. Ini akan membantu para pembangun memahami pengalaman pemain dalam talian dan menentukan tempat dan cara para pengguna bermain.\nPromosi yang Unik\nKomponen terbina dalam ini membantu pembangun bermanfaat daripada pembelian dalam\naplikasi melalui Kedai Web mereka. Semasa dalam talian, pembangun boleh menawarkan\ntawaran promosi dan melancarkan kempen diskaun, tawaran kod promosi dan bonus bagi meningkatkan jualan dan menarik pemain baharu ke dalam talian.\nPengurusan Langganan\nUntuk membantu pembangun menjual katalog barangan digital yang lengkap di Kedai Web mereka, Xsolla memperkenalkan ciri langganan yang mantap yang membantu pembangun menarik dan mengekalkan pelanggan baharu, mewujudkan kesetiaan, menjanakan pendapatan yang stabil, dan menguruskan langganan dengan keyakinan.\nUntuk maklumat lanjut mengenai Kedai Web Xsolla, sila layari: https://xsolla.com/solution/web-shop-for-mobile-games\nNFT Checkout\nXsolla telah menyediakan proses NFT Checkout agar pembangun boleh menambahkan NFT ke dalam permainan mereka dengan cepat dan selamat. Ciri ini akan membolehkan pemain membuat pembelian melalui kaedah pembayaran kegemaran mereka. Pembangun akan mengendalikan penempaan dan penghantaran NFT, manakala Xsolla mengendalikan proses pembayaran dan pengedaran barangan dalam permainan.\nUntuk maklumat lanjut mengenai NFT Checkout, sila layari:https://xsolla.com/solution/payments/nft-checkout\n\u00a0\nHab Pengedar Digital\nHab Pengedaran Digital Xsolla menghubungkan permainan ke rangkaian aplikasi global, Pembekal Khidmat Internet (ISP), bank dan saluran lain untuk membantu pembangun menjangkau pemain dan menjanakan pendapatan daripada setiap transaksi.\nCara penyelesaian baharu ini memperkasakan pemain untuk menerokai dan menyokong permainan kegemaran mereka melalui pengalaman berbilang platform yang dioptimumkan, di samping membenarkan mereka membayar mengikut cara dan masa yang diingini oleh mereka.\nPembangun kini boleh bermanfaat daripada penembusan pasaran dan kesedaran jenama yang dipertingkat melalui saluran pengedaran seperti aplikasi hebat, aplikasi perbankan dalam talian dan pasaran pembawa mudah alih.\nDengan adanya Hab Pengedaran Digital, permainan anda bolemenjangkau pengguna baharu yang ramai, menjimatkan kos pengedaran, serta meningkatkan pendapatan dan penglibatan keseluruhan.\nUntuk maklumat lanjut mengenai Hab Pengedaran Digital, sila layari: https://xsolla.com/products/digital-distribution-hub\nXsolla akan mengemukakan cara-cara penyelesaian ini dan banyak lagi melalui beberapa acara dalam enam bulan yang akan datang, termasuk GamesBeat Summit 2022, Pocket Gamer Connects Seattle, Nordic Game Show, Pocket Gamer Toronto, China Joy dan gamescom.\nSila mendaftar untuk bertemu dengan para pakar di Xsolla dengan melayari: https://xsolla.com/events.\nMengenai Xsolla\nXsolla adalah syarikat dagangan permainan video terkemuka dunia, dengan satu set alatan dan perkhidmatan yang teguh dan berkuasa yang direka khas untuk industri permainan. Sejak penubuhannya pada tahun 2005, Xsolla membantu beribu-ribu pembangun permainan dan penerbit daripada berbagai-bagai saiz untuk mempromosi dan mengaut keuntungan daripada permainan mereka pada peringkat global dan merentas pelbagai platform. Sebagai pemimpin yang berinovatif dalam dagangan permainan, Xsolla menyambung usaha berterusannya untuk menyelesaikan kompleksiti yang sedia wujud dalam bidang pengedaran, pemasaran, dan penjanaan keuntungan pada peringkat global supaya rakan kongsi mereka boleh mengembangkan jumlah penonton, penglibatan, dan pendapatan mereka.\nDengan pejabat di seluruh dunia, Xsolla pada masa ini sedang bekerja bersama-sama entiti permainan utama seperti Valve, Twitch, Roblox, Ubisoft, Epic Games, Take-Two, KRAFTON, Nexters, NetEase, Playstudios, Playrix, miHoYo, dan banyak lagi.\nUntuk maklumat tambahan, sila lawati xsolla.com.\nXsolla LinkedIn: https://www.linkedin.com/company/xsollaTwitter: https://twitter.com/xsolla" "\u201cTaste of Malaysia\u201d MATRADE Pikat Masyarakat Ireland\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mempromosikan produk Malaysia secara global, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia atau Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) melalui pejabatnya di luar negara di London\u00a0 berjaya melancarkan program promosi \u201cTaste of Malaysia\u201d di Dublin, Ireland. Program ini diadakan dengan kerjasama Asia Market, pembekal makanan Asia terbesar di Ireland dan disokong oleh Kedutaan Malaysia di Dublin, Ireland.\nPromosi yang berlangsung dari 1 Mei 2022 hingga 31 Mei 2022 itu bertujuan meningkatkan kesedaran pasaran tentang makanan dan minuman (Food and Beverages (F&B) Malaysia serta mengukuhkan kehadiran jenama Malaysia dalam segmen F&B tempatan.\n\n\nProgram promosi sebulan dijalankan dalam format hibrid yang terdiri daripada promosi secara dalam talian dan dalam kedai di kedua-dua buah kedai Asia Market di Drury Street dan Ballymount di Dublin. Perkongsian strategik ini menyediakan pendekatan pemasaran kos efektif untuk pengeksport Malaysia untuk merebut peluang perniagaan baharu dan menjanakan jualan eksport yang lebih tinggi yang disumbangkan oleh petunjuk jualan baharu hasil daripada aktiviti promosi yang meluas.\nPromosi ini menampilkan produk daripada pes dan sos, snek, biskut, campuran kopi, rempah-ratus, dan mi segera kepada hidangan sedia untuk dimakan lebih daripada 20 jenama makanan dan minuman Malaysia, termasuklah Dollee, Baba\u2019s, Adabi, Brahim\u2019s, MyKuali, A1, dan banyak lagi. lebih.Untuk meningkatkan keberkesanan program ini, MATRADE juga terlibat dengan chef selebriti Malaysia dan\u00a0 TV tetap yang berpangkalan di Ireland, iaitu Chef Sham Hanifa dan pempengaruh dalam talian Juruhebah dan Tukang Masak, Marcus O\u2019Laoire, untuk mendemonstrasikan memasak secara langsung, menggunakan bahan/produk Malaysia yang ada di pasar raya. Dengan cara ini, pengguna Ireland berpeluang merasai masakan Malaysia secara langsung.\nMenurut Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE London, Megat Iskandar Ahmad Dassilah, \u201cAcara itu telah berjaya menarik minat pengguna Ireland terhadap makanan Malaysia. Sudah tiba masanya\u00a0 kami menganjurkan promosi ini memandangkan keadaan di Ireland kini kembali ke tahap prapandemik kerana sekatan COVID tidak lagi terpakai.\nDemonstrasi memasak berjaya menimbulkan gembar-gembur dan menarik aliran trafik ke kedai untuk membeli produk F&B Malaysia. Digabungkan dengan promosi secara dalam talian, kami percaya bahawa lebih banyak jualan boleh dijanakan. Hal ini akan mewujudkan lebih banyak peluang bagi produk makanan Malaysia yang lain memasuki pasaran Ireland\u201d.\nBeliau juga menambah, \u201cPengeluar makanan Malaysia juga perlu memberikan tumpuan kepada amalan kod tingkah laku yang baik, memberikan perhatian kepada elemen mesra alam kerana tingkah laku pengguna didorong oleh keutamaan ini. Orang ramai, bukan sahaja di Ireland, tetapi di Eropah pada umumnya menggunakan pilihan gaya hidup yang lebih mampan semasa wabak itu\u201d.\nPada 2021, jumlah perdagangan Malaysia dengan Republik Ireland berjumlah RM13.68 bilion. Eksport ke Ireland bagi empat bulan pertama 2022 bernilai RM289.5 juta. Melangkah ke hadapan, MATRADE akan terus memulakan pelbagai aktiviti promosi, memperkayakan eksport syarikat Malaysia di pasaran global." "Kerajaan Tegas Tangani Isu Bekalan dan Harga Ayam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKerajaan mengambil berat dan memandang serius isu peningkatan harga dan bekalan ayam semasa yang menghimpit seluruh Keluarga Malaysia.\nKerajaan kesal dan kecewa terhadap tindakan beberapa buah syarikat yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran.\nKetika ini, Kerajaan menetapkan harga siling ayam standard pada harga RM8.90 sekilo dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu.\nWalau bagaimanapun, pihak Kerajaan mendapati beberapa syarikat besar yang tidak berminat untuk memohon subsidi dan mahukan Kerajaan membiarkan harga ayam ditentukan sendiri oleh pasaran. Setakat ini, hanya RM50 juta subsidi dibayar kepada penternak yang kebanyakannya adalah syarikat kecil.\nSebagai langkah jangka pendek, mesyuarat Kabinet hari ini membuat beberapa ketetapan terhadap isu bekalan serta harga ayam seperti yang berikut:\nKerajaan sedar terdapat laporan bahawa wujud kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar. Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat perkara ini dan siasatan dijangka selesai pada bulan Jun ini. Jika didapati wujud kesepakatan kartel tersebut, Kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.\nPada masa yang sama, Kerajaan akan mengurangkan peranan orang tengah yang selama ini memanipulasi bekalan dan harga. Kerajaan akan memperkenalkan semula Jihad memerangi orang tengah yang telah saya perkenalkan pada tahun 2014. Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diberikan peranan untuk mengetuai Jihad Memerangi Orang Tengah ini.\nMesyuarat Kabinet juga menerima beberapa pandangan daripada Ahli Jemaah Menteri berkaitan penanaman jagung dan hampas isirung kelapa sawit (PKC) untuk menjadi alternatif kepada makanan ayam. Mesyuarat juga bersetuju meminta kerjasama kerajaan Negeri, agensi Kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk menyediakan tanah Lesen Kependudukan Sementara (TOL) bagi jangka masa panjang. MAFI dan KPDNHEP telah diminta membentangkan pelan-pelan tersebut dalam masa terdekat bagi projek penanaman jagung, PKC dan sebagainya.\nKerajaan turut menggalakkan Syarikat Berkaitan Kerajaan, agensi Kerajaan, Pertubuhan Peladang, dan Koperasi untuk turut terlibat dalam penternakan ayam. Kerajaan akan mengkaji dari segi bantuan kepada mereka yang terlibat. Hal ini merupakan sebahagian pelan Jangka Sederhana dan Jangka Panjang yang akan dirangka oleh MAFI dan KPDNHEP.\nPeguam Negara juga dipanggil pada Mesyuarat Kabinet pada hari ini dan menasihatkan Kabinet untuk mengguna pakai di bawah Penguatkuasaan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) jika terdapat sebarang aktiviti menyorok, menyimpan atau unsur-unsur sabotaj terhadap bekalan ayam. Tindakan boleh diambil di bawah Akta tersebut dan lesen mereka juga boleh dibatalkan serta merta.\nKerajaan meminta MAFI dan KPNDHEP melakukan pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974 ) yang memperuntukkan penalti bagi:\nSementara itu, susulan daripada pengumuman saya sebelum ini berkaitan pemansuhan AP bahan makanan, Kabinet hari ini juga bersetuju supaya AP gandum dibatalkan. Semua kementerian juga diminta menyenaraikan AP bagi barangan lain yang boleh dimansuhkan untuk menjaga kepentingan pengguna Keluarga Malaysia.\n\u201cSaya ingin menegaskan bahawa Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjejaskan kehidupan rakyat. Sehubungan itu, saya memohon agar Keluarga Malaysia menyokong tindakan yang dilakukan oleh pihak Kerajaan ini demi menjaga kepentingan rakyat yang terhimpit dengan peningkatan harga dan kos sara hidup serta kekurangan bekalan, \u201c ujar Perdana Menteri Malaysia, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob." "Isu Kenaikan Tambang e-panggilan MOD dan APAD Bertindak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengambil maklum dan memandang serius berhubung rungutan orang ramai baru-baru ini terhadap kenaikan tambang perkhidmatan pengangkutan awam e-panggilan (e\u2013hailing). Bagi menangani isu yang melibatkan kepentingan awam yang bergantung kepada perkhidmatan e-panggilan dalam menjalani rutin kehidupan seharian, MOT dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bertemu dengan pengendali e-panggilan (EHO) yang berkenaan.\nDripada perbincangan ini, difahamkan terdapat dua faktor utama yang menyumbang kepada lonjakan tambang e-panggilan, iaitu penawaran dan permintaan yang tidak seimbang serta kesesakan lalu lintas tinggi yang menyebabkan masa perjalanan lebih lama. Gabungan kedua-dua faktor ini telah menjejaskan kualiti perkhidmatan e-panggilan. Selain itu, beberapa syarikat e-panggilan juga telah menunjukkan penurunan bilangan pemandu berdaftar sebanyak 30% berbanding dengan sebelum COVID-19 melanda Malaysia.\nKekurangan pemandu e-panggilan ini secara tidak langsung menyebabkan masa menunggu kenderaan di beberapa tempat menjadi lebih lama daripada jangkaan. Pada masa yang sama, fasa peralihan ke endemik mulai 1 April 2022 lalu juga menyebabkan berlakunya peningkatan mendadak dalam permintaan perkhidmatan e-panggilan.\nTempoh yang sama juga menyaksikan pergerakan orang ramai dapat bergerak bebas bagi menjalankan aktiviti ekonomi dan kehidupan seharian seperti biasa sekali gus menyumbang kepada kesesakan lalu lintas berbanding peringkat awal wabak menular. Faktor-faktor ini mempengaruhi formula pengiraan tambang yang digunakan oleh EHO merangkumi pelbagai faktor termasuk jarak perjalanan, aliran trafik, keadaan cuaca, serta penawaran dan permintaan pasaran. Keadaan ini mempengaruhi kenaikan tambang sejak kebelakangan ini. Dari segi peraturan struktur tambang pula, terdapat dua caj iaitu tambang asas dan surcaj. Kerajaan tidak mengawal tambang asas dan surcaj tidak boleh melebihi dua kali ganda daripada tambang asas, dengan mengambil kira kadar waktu puncak dan harga bahan api.\nEHO dibenarkan untuk menetapkan struktur tambang mereka berdasarkan formula sendiri dan syarat perkhidmatan mereka dengan pengguna dalam pasaran terbuka. EHO yang berkenaan juga telah memberi jaminan kepada MOT untuk memperuntukkan lebih banyak sumber ke arah meningkatkan bilangan pemandu yang ada pada masa ini. Pada masa yang sama, Kerajaan juga akan terus memastikan lebih banyak EHO bersama-sama perkhidmatan teksi dan bas tersedia untuk menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna. Lebih daripada 130 000 individu memegang lesen vokasional untuk bekerja sebagai pemandu e-panggilan. Angka ini dijangka bertambah apabila Institut Memandu dan EHO menerima lebih banyak calon untuk menjadi pemandu e-panggilan bagi 21 EHO dengan lesen aktif di seluruh negara termasuk Lembah Klang. Kerajaan menggesa semua EHO supaya meningkatkan saluran komunikasi mereka dengan pengguna. Kementerian akan terus memantau industri e-panggilan untuk memastikan keadilan dan mengelakkan beban yang tidak wajar kepada pengguna." "Penubuhan Inkubator Blockchain dan IoT Lengkapkan Ekosistem Pembuatan Pulau Pinang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Kenaikan Harga Komoditi Malaysia Dapat Manfaat Besar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Starbucks Tutup Operasi Perniagaan di Rusia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Bahasa Melambangkan Akhlak dan Sahsiah Diri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\nKuala Lumpur \u2013 Bahasa merupakan nikmat dan kurniaan terbesar Allah SWT kepada manusia selain akal. Bahasa juga sangat berkaitan dengan akhlak kerana penggunaan bahasa yang baik menggambarkan seseorang yang berakhlak tinggi. Oleh itu, sesuatu bangsa bukan sahaja dikenali daripada sedi warna kulit, bahkan juga melalui bahasanya.\n\u00a0\nDemikianlah antara beberapa penerangan menarik daripada YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang juga merupakan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau yang menjadi tetamu dalam slot rancangan Assalamulaikum terbitan TV Alhijrah yang berjudul \u201cBahasa: Tunjang dan Budi Daya\u201d yang bersiaran pada pagi tadi menyatakan bahawa bahasa tidak patut hanya dilihat sebagai kemampuan biasa. Hal ini demikian kerana bahasa mampu menzahirkan sahsiah, akhlak dan pemikiran seseorang.\nSeseorang itu perlulah memelihara kesantunan bahasa kerana bahasa mengikat perpaduan dan persefahaman. Bahkan bahasa juga boleh menyebabkan berlakunya percanggahan dan perseteruan. Seperti kata peribahasa Melayu, \u201cTerlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya\u201c.\nMenurut beliau, bahasa sangat penting kerana segala maklumat dan ilmu disampaikan melalui bahasa. Buktinya, wahyu yang disampaikan oleh Allah SWT juga adalah melalui bahasa Arab.\nTambahnya lagi, bahasa Melayu juga ditakdirkan sebagai wasilah untuk perkembangan syariat Islam dan aspek kehidupan lain. Hal ini dibuktikan melalui lebih kurang 20 ribu manuskrip bahasa Melayu dalam tulisan Jawi. Kewujudan tulisan Jawi membawa kepada perkembangan pesat tamadun Islam pada suatu masa dahulu.\nKesempurnaan bahasa menggambarkan adab, akhlak dan sahsiah manusia. Kreativiti bahasa pula luas tetapi tidak boleh lupa sama sekali pada akar bahasa. Bahasa janganlah dijadikan sebagai alat pemecah belah, memfitnah, mengadu domba dan sebagainya. Pada masa ini, bahasa sudah tidak dihormati dan dihargai kerana digunakan untuk tujuan yang sangat negatif.\nSehubungan dengan itu, kita perlulah menghargai bahasa dan menghormati bahasa kebangsaan dalam setiap aspek kehidupan. Allah SWT mengurniakan bahasa Melayu sebagai bahasa negara di negara ini dan sebagai pengembang tamadun. Mempelajari bahasa lain adalah tidak salah tetapi janganlah sesekali memperkecil dan mengetepikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan." "MPCB Bina 570 Unit Rumah Mampu Milik di Johor\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Funding Societies Tawar Penyelesaian Pembiayaan PMKS Menerusi FinTech Islam (iFinTech)\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u00a0\u2013 Funding Societies, platform pembiayaan digital PKS terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara, memperkenalkan penyelesaian pembiayaan dagangan (trade financing) patuh syariah berdasarkan Murabahah Komoditi (Tawarruq) untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia yang layak kredit dan memerlukan. Penyelesaian ini seterusnya membantu mereka untuk mengembangkan perniagaan atau meningkatkan modal kerja dalam negara kian membuka semula kebanyakan sektor ekonomi dan melalui fasa peralihan endemik.\nWong Kah Meng, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Funding Societies Malaysia, berkata, \u201cWalaupun mempunyai prestasi perniagaan yang memberangsangkan,\u00a0 tetapi PMKS sering menghadapi kekangan akses kepada pembiayaan dan sering terabai oleh instituisi perkhidmatan atas pelbagai sebab (faktor utama, termasuklah kekurangan atau ketiadaan rekod prestasi kredit, ketiadaan aset cagaran, dan tidak mempunyai dokumentasi kewangan yang cukup untuk penilaian kredit). Hal ini ditambah lagi\u00a0 dengan impak COVID-19. Disebabkan oleh norma penjarakan sosial dan batasan bertemu pelanggan secara bersemuka, hal ini menyukarkan institusi kewangan tradisional untuk memberikan pinjaman kepada PMKS, tambahan pula dengan syarat-syarat yang diperketat bagi beberapa industri tertentu disebabkan oleh faktor risiko yang kian meningkat.\u201d\n\u201cSemasa pandemik juga, kami melihat lebih banyak perniagaan yang beralih kepada platform digital dan ruang pasaran bagi mendapatkan dana untuk memulakan, meneruskan atau mengembangkan perniagaan mereka. Hal ini dirumuskan daripada faktor peningkatan trafik carian dan bilangan PMKS yang berdaftar dengan kami melalui saluran digital merentasi kedua-dua ekonomi secara dalam talian mahupun di luar talian,\u201d tambah Wong.\n\u00a0\n\u00a0\nKhairil Anuar Mohd Noor, Prinsipal di Masryef Advisory, berkata,\u00a0\u201cFunding Societies mengambil langkah penting dalam menawarkan produk patuh Syariah bermanfaat kepada pelabur Islam mahupun bukan Islam untuk melabur di platformnya. Di samping itu, rata-rata PMKS yang masih terabai atau kurang diberi layanan kini boleh mendapat akses kepada pembiayaan Islam melalui platform tersebut. Kami berbangga kerana turut serta bersama Funding Societies dalam perjalanannya untuk menawarkan pembiayaan Islam. Sijil patuh Syariah daripada Masryef yang diperoleh Funding Societies membolehkan mereka untuk menawarkan penyelesaian pembiayaan Islam kepada pelanggan.\u201d\nDalam temu bual bersama-sama BERNAMA pada bulan April, Pengarah Eksekutif Pembangunan Pasaran Modal Islam Suruhanjaya Sekuriti, Sharifatul Hanizah Said Ali menyatakan bahawa Suruhanjaya Sekuriti menjangkakan penggunaan digital dan teknologi akan meningkat secara meluas serta mempercepat kapasiti pemegang taruh untuk meningkatkan ekosistem kewangan Islam. Penyelesaian digital ini akan memudahkan ketersambungan dengan membenarkan PKS, pelabur dan pengantara mengakses pasaran sedia ada dan baharu dengan lebih cekap dan kos efektif.\nPMKS kini kian menyedari kepentingan FinTech dan Islamic FinTech (iFintech) untuk mendapatkan akses kepada modal bagi memastikan kelestarian operasi dan pengembangan aktiviti perniagaan mereka. Pengenalan pembiayaan patuh Syariah melengkapkan rangkaian luas produk pembiayaan Funding Societies sedia ada untuk memberikan perkhidmatan kepada PKS yang berkelayakan kredit daripada semua segmen, vintaj dan saiz, termasuklah yang beroperasi dalam industri Halal.\nTambahan pula, iFintech masih berkembang pesat tatkala kebimbangan kelembapan ekonomi global berikutan pasaran umum yang lembap dan sentimen berhati-hati pengguna di Amerika Syarikat serta ekonomi-ekonomi lain di Asia Tenggara seperti Malaysia dan Singapura.\nPada tahun 2021, pasaran iFinTech Malaysia dianggarkan bernilai USD3.0 bilion (RM13.18 bilion). Malaysia turut dikategorikan sebagai \u2018peneraju pasaran\u2019 pada Matriks Kematangan Hab iFinTech dengan kadar pertumbuhan dan kadar kondusif yang tinggi. Selain itu, Malaysia turut menduduki tempat pertama dalam Indeks Teknologi Kewangan Islam Global (GIFT).\n\u201cPertumbuhan ini, khususnya memberikan peluang menggalakkan untuk kedua-dua PKS dan pelabur. Peningkatan beransur dalam aktiviti ekonomi dan sempadan yang dibuka semula, ditambah dengan jangkaan peningkatan keyakinan pengguna akan menyumbang kepada pandangan yang lebih optimistik secara keseluruhan. Walau bagaimanapun, kita masih perlu mengekalkan pendekatan berhati-hati kerana pelbagai pasaran telah menaikkan kadar faedah dalam usaha untuk mengekang tekanan inflasi, dengan risiko kelembapan ekonomi,\u201d rumus Wong.\nDalam memastikan pematuhan terhadap prinsip Syariah, Funding Societies bekerjasama dengan Masryef Advisory, sebuah syarikat penasihat Syariah berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti sebagai penasihat Syariahnya.\n\u201cFunding Societies mengambil langkah penting dalam menawarkan produk patuh Syariah bermanfaat kepada pelabur Islam mahupun bukan Islam untuk melabur di platformnya. Di samping itu, rata-rata PMKS yang masih terabai atau kurang diberi layanan kini boleh mendapat akses kepada pembiayaan Islam melalui platform tersebut. Kami berbangga kerana turut serta bersama Funding Societies dalam perjalanannya untuk menawarkan pembiayaan Islam. Sijil patuh Syariah daripada Masryef yang diperoleh Funding Societies membolehkan mereka untuk menawarkan penyelesaian pembiayaan Islam kepada pelanggan,\u201d kata Khairil Anuar Mohd Noor, Prinsipal di Masryef Advisory.\nPenyelesaian pembiayaan perdagangan patuh Syariah Funding Societies membolehkan PKS Malaysia yang telah beroperasi sekurang-kurangnya setahun untuk memohon pembiayaan tanpa cagara dengan jumlah pembiayaan sehingga RM1 juta. Untuk maklumat lanjut berkenaan pembiayaan perdagangan patuh Syariah ini, sila layari: https://fundingsocieties.com.my/islamic-financing" "Permohonan Geran Padanan Pembaikan Hotel Kelas Ekonomi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kerajaan memperuntukkan Geran Padanan sebanyak RM30 juta pada tahun ini bagi tujuan pembaikan inap desa (homestay) dan Hotel Bajet di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).\nPermohonan geran ini dibuka kepada semua pemohon mulai 1 April 2022 dan dilanjutkan tarikh tutup pada 15 Jun 2022 kepada semua pengusaha hotel kelas ekonomi (budget hotel) yang telah diberi penarafan 1 Orkid, 2 Orkid dan 3 Orkid di bawah MOTAC.\nBagi memberikan ruang yang lebih luas,\u00a0 banyak pengusaha hotel mengambil peluang menyertai usaha Kerajaan untuk memulihkan semula industri pelancongan negara, Kementerian bersetuju membuka permohonan ini kepada para pengusaha hotel yang bertaraf 1 Bintang dan 2 Bintang yang\u00a0 diberi penarafan oleh MOTAC.\nPemberian geran ini bakal memanfaatkan sebanyak 641 buah hotel lagi yang sebelum ini dibuka kepada hotel bertaraf Orkid yang berjumlah\u00a0 648 buah hotel. Jumlah ini menjadikan hotel kelas ekonomi yang layak memohon geran ini adalah\u00a0 sebanyak 1289 buah.\nPemberian geran ini bertujuan memberikan peluang sama rata dan membantu para pengusaha hotel bertaraf 1 Bintang dan 2 Bintang membaik pulih premis mereka yang terkesan akibat COVID-19 yang melanda seluruh negara agar dapat menawarkan kemudahan dan fasiliti yang terbaik kepada pelancong sama ada domestik ataupun antarabangsa.\nTarikh tutup permohonan Geran Padanan Bagi Tujuan Pembaikan kepada Hotel Bajet dan bertaraf 1 Bintang dan 2 Bintang di bawah MOTAC bagi tahun 2022 diselaraskan hingga 15 Jun 2022.\nMOTAC menyeru semua pengusaha hotel yang layak untuk segera mengemukakan permohonan geran yang ditawarkan ini. Maklumat lanjut seperti Garis Panduan Permohonan, Borang Permohonan dan lain-lain maklumat boleh dilayari di laman sesawang rasmi MOTAC di www.motac.gov.my/geran-padanan. Pemberian geran ini diharapkan dapat pengusaha hotel untuk terus kekal berdaya saing bagi mempromosikan premis-premis mereka untuk menarik lebih ramai pelancong datang menginap." "Malaysia Tubuhkan Pusat IR 4.0 yang Pertama di Asia Tenggara Bagi Pemulihan Ekonomi Pascapandemik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kerajaan Malaysia mengumumkan penubuhan Pusat Revolusi Perindustrian Keempat (C4IR), sebuah pusat bebas di bawah Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum \u2013 WEF) untuk menyokong pencapaian wawasan menyeluruh Malaysia di bawah Dasar 4IR yang dilancarkan pada 2021, serta Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia. Ini akan membantu mempercepat penggunaan teknologi yang akan menjamin pertumbuhan yang lebih saksama, inklusif dan mampan untuk Malaysia apabila ekonomi pulih daripada pandemik COVID-19.\nPenubuhan pusat ini, juga yang pertama di Asia Tenggara, menunjukkan komitmen Kerajaan Malaysia ke arah mengutamakan teknologi sebagai mangkin utama pertumbuhan ekonomi dan pemulihan pascapandemik, serta menyokong aspirasinya untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.\nC4IR akan menjadi sebahagian daripada rangkaian global WEF untuk kerjasama pelbagai pihak bagi merealisasikan faedah teknologi baru muncul dan inovatif. Melalui rangkaian pusat sedia adanya di serata dunia, C4IR merintis model tangkas dan berpaksikan kemanusiaan dalam pembangunan dan pelaksanaan dasar yang berfokuskan teknologi.\nC4IR akan ditubuhkan secara rasmi dan akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob pada separuh kedua 2022. Penubuhan C4IR diumumkan bagi pihak Kerajaan Malaysia oleh YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia, sempena Mesyuarat Forum Ekonomi Dunia yang diadakan pada 23 Mei 2022 \u2013 26 Mei 2022.\n\u201cMalaysia sedang mempercepat transformasi digitalnya, dan keupayaan kita untuk memanfaatkan teknologi 4IR seperti kecerdasan buatan, nanoteknologi, tenaga boleh diperbaharui dan pengkomputeran kuantum akan menjadi satu pemacu utama bagi pertumbuhan ekonomi negara yang mampan, berdaya tahan dan inklusif dalam beberapa dekad akan datang.\nSehubungan dengan itu, penubuhan C4IR memastikan teknologi pilihan Malaysia mampu menghasilkan manfaat yang bermakna kepada manusia sejagat dalam interaksi teknologi tersebut merentasi alam fizikal, digital dan biologi. Kementerian Kewangan juga akan bekerjasama dengan kementerian-kementerian berkaitan bagi memastikan kejayaan C4IR sebagai platform untuk pemindahan teknologi dan bagi membangunkan kapasiti tempatan secepat mungkin,\u201d kata Tengku Zafrul bersempena dengan kehadiran di Mesyuarat Forum Ekonomi Dunia di Davos hari ini.\n\u201cKami mengalu-alukan Malaysia ke rangkaian global Pusat Revolusi Perindustrian Keempat lewat tahun ini. Sebagai pusat pertama di Asia Tenggara, C4IR Malaysia akan memainkan peranan penting dalam menerajui transformasi digital di rantau ini,\u201d kata Jeremy Jurgens, Pengarah Urusan, Forum Ekonomi Dunia.\nSebaik sahaja ditubuhkan, C4IR akan diuruskan oleh Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, dengan program yang akan dirangka dan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Forum Ekonomi Dunia juga akan terus memainkan peranan kolaboratif dalam pengoperasian C4IR. Pemaanfaat utama agenda 4IR Malaysia, termasuklah golongan belia (contohnya, melalui akses yang lebih baik kepada kaedah pembelajaran dan peningkatan kemahiran yang dikuasakan oleh Edutech); perusahaan sosial (contohnya, menyelesaikan isu sosioekonomi, memudahkan penggunaan digital dan merapatkan jurang digital bandar dan luar bandar); sector perniagaan (contohnya, membangunkan kapasiti dikuasakan 4IR berasaskan industri dan sektor) dan sektor awam (contohnya, memanfaatkan data raya bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam)." "Harga RON97 Naik RM4.70, RON95 dan Diesel Kekal\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Inflasi April 2022 Catat 2.3% dan Inflasi Makanan Naik kepada 4.1%\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Subsidi Kerajaan dan Kawalan Harga Bantu Kawal Kadar Inflasi Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Sime Darby Property Bhd Optimis Capai Sasaran Jualan 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBeliau menjelaskan sasaran itu dipacu dengan kemampuan jualan, strategi baharu dan kadar faedah rendah dalam pasaran. Tambah beliau, Sime Darby Property\u00c2\u00a0 berjaya mencapai hasil jualan RM900 juta dalam suku pertama tahun kewangan 2022 yang dapat memberikan indikasi produk yang kompetitif dalam pasaran. \u201cKita akan terus mencatatkan prestasi yang baik kerana kami melihat jualan tidak dibilkan melebihi hasil pembangunan hartanah sejak suku ketiga tahun kewangan 2021, sambil menjangkakan kadar pengambilan yang menggalakkan berterusan dari tahun kewangan 2021 hingga tahun ini.\u201c" "GDEX Alami Kerugian Bersih RM1.9 Juta Suku Pertama 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHal ini berikutan pendapatan daripada segmen perkhidmatan kurier lebih rendah pada suku berkenaan yang berjumlah RM82.4 juta dan susut sebanyak 14.6%. Segmen tersebut mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM3.2 juta berbanding dengan sebelum cukai RM6.9 juta bagi tahun sebelumnya. Hal ini disebabkan persaingan harga yang sengit, selain penyertaan pemain baharu dan juga kos operasi yang lebih tinggi." "Keuntungan Bersih Suku Ketiga YTL Corp Meningkat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Adab dalam Berbahasa: Amalan Masyarakat Ortodoks?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPenetapan kriteria jati diri yang menjadi teras kepada keperibadian bangsa dapat dikenal pasti menerusi hasil pemerhatian orang sekeliling terhadap perilaku dan ucapan yang ditunjukkan oleh masyarakat tersebut. Dengan kata lain, tanda diri kepada bangsa tersebut agar dapat dibezakan dengan bangsa lain. Fran\u00e7ois Vallentijn (1712) menyifatkan bangsa Melayu sebagai:\nOrang yang sangat cerdik, sangat pintar dan manusia yang sangat sopan di seluruh Asia. Orang Melayu terkenal dengan orang yang pemalu, apalagi seorang perempuan akan mencerminkan budaya timur yang pemalu dan sopan dalam bersikap dan bertingkah laku.\nKata kunci utama melalui pernyataan ini adalah berkenaan adab. Secara dasarnya, dalam institusi keluarga, adab merujuk amalan yang berkesinambungan dengan pendidikan asas agama yang mencakupi ruang lingkup zahir dan batin dan disampaikan oleh golongan tua kepada yang muda agar setiap perkara yang dilakukan dan dituturkan mempunyai modul panduan hidup. Seiring dengan itu, acap kali kita mendengar ungkapan \u201cpelajarilah adab sebelum mempelajari ilmu\u201d kerana orang yang berjaya sudah pasti orang yang kaya dengan adab.\nAdab dalam berbahasa ialah suatu kaedah yang mendidik individu untuk bergaul dan berefleksi pada aktiviti tersebut. Kadang kala situasi ini melibatkan dua atau lebih individu berkomunikasi tentang suatu topik sama ada yang telah dirancang mahupun yang terbit secara spontan.\nTidak dinafikan dalam hal ini, keterbukaan penilaian akan berlaku sama ada yang bersifat objektif atau subjektif yang mampu memberikan kesan jangka panjang kepada individu tersebut. Dengan mengambil contoh, situasi temu duga kerja yang mana adab dalam berbahasa sangat ditekankan sebagai satu daripada kriteria pemilihan pekerja.\nSelain itu, adab dalam berbahasa ini dapat dilihat dalam konteks yang lebih luas, iaitu memberikan hikmah kepada kerukunan masyarakat majmuk di Malaysia. Antara kesan yang nyata termasuklah mewujudkan persefahaman, hormat-menghormati, dan melahirkan rasa tanggungjawab sosial untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan bersama yang dapat mengelakkan syak wasangka dan ketidakpuasan hati yang boleh mengganggu ketenteraman awam. Interaksi kerukunan yang telah terbina sekian lama ini perlu dipelihara dengan mengekalkan adab berbahasa bagi menyemarakkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.\nDalam pada itu, peredaran zaman telah membawa transformasi kepada adab dalam berbahasa sesebuah masyarakat. Menerusi pengamatan, kelihatannya krisis adab dalam berbahasa semakin membimbangkan kerana generasi kini lebih cenderung memilih dan menggunakan perkataan yang tidak melambangkan jati diri bangsa yang unggul dan tulen bagi mencerminkan keagungan bangsa dan negaranya.\nTidaklah keterlaluan jika dikatakan perkataan yang dipilih terutamanya oleh golongan muda adalah tidak molek dan tidak enak didengar atau dengan kata lainnya menggunakan kata-kata yang mencarut dan berirama kasar. Misalnya, perkataan bebal, bodoh, bongok, mampus dan sial. Perkataan itu bukan sahaja terungkap secara lisan namun juga dalam bentuk tulisan.\nBuktinya menerusi satu insiden mengejutkan yang berlaku pada tahun 2020, di mana lukisan mural gambar Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Ketua Pengarah Kesihatan dan pemimpin lain diconteng dengan kata-kata kesat yang menunjukkan hilangnya adab berbahasa kepada pemimpin. Istilah ini seakan-akan akrab dan dianggap mesra dalam berkomunikasi dan mampu menghidupkan suasana sosial yang baik dan berkesan walaupun situasi tersebut kelihatan aneh dan tidak lazim didengar.\nSelain itu, setiap lapisan masyarakat sudah semestinya mempunyai kata panggilan tertentu bagi membezakan pangkat, pertalian dan faktor usia untuk\u00a0 mengelakkan kecelaruan semasa menggunakannya. Kata panggilan yang lazim digunakan adalah seperti cik, encik, mak cik, pak cik, saudara, saudari, tuan dan puan mengikut kesesuaian konteks persekitaran.\nMelalui pemerhatian, menjadi trend anak muda sekarang mengikuti hasil video lakonan pelakon amatur menerusi saluran Youtube dan video pendek ini dapat dikatakan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Kandungannya mempunyai pelbagai tema yang begitu dekat dengan kehidupan masyarakat serta kaya dengan kreativiti yang membantu mengangkat kepopularan pelakon amatur yang terlibat.\nDari sudut positifnya, perkara ini sangat membantu perkembangan industri kreatif. Namun begitu, sedikit kegusaran timbul tentang pemakaian bahasa atau lontaran dialog yang digunakan oleh sebahagian pelakon video yang tidak menitikberatkan adab dalam berbahasa terutamanya kata panggilan yang digunakan kepada orang yang lebih tua, misalnya dengan menggunakan panggilan seperti \u2018\u201dkau\u201d.\nKata ganti nama \u201ckau\u201d atau \u201cengkau\u201d ini berbentuk kasar dan seelok-eloknya digunakan kepada rakan sebaya, rakan karib tetapi tidak ditujukan kepada orang lebih tua kerana perkataan ini boleh menyinggung perasaan individu tersebut. Nik Safiah Karim mengatakan bahawa bentuk ini dianggap sebagai bentuk yang digunakan oleh orang yang rendah kedudukannya atau yang kurang menerima ajaran tatatertib. Sekiranya tidak kena pada tempatnya akan menimbulkan perselisihan dan kekeruhan hubungan.\nPandemik Covid-19 sememangnya banyak memberikan kesan mendalam kepada semua aspek kehidupan. Begitu juga halnya dengan perkembangan teknologi yang begitu pesat membangun dan menjadi suatu kehendak masyarakat pada ketika ini. Dalam aspek pendidikan, secara totalnya menggunakan platform moden bagi memudahkan penyampaian pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian.\nNamun begitu, di sebalik kemajuan medium penyampaian tersebut sebenarnya telah memundurkan adab dalam berbahasa khususnya berkomunikasi dengan para pendidik. Para pelajar dikatakan sudah hilang rasa hormat dan tidak menggunakan ayat sopan semasa menghantar atau membalas WhatsApp dan Telegram kepada guru mereka. Ini suatu perkara yang membimbangkan dan tidak boleh dibiarkan berterusan kerana golongan inilah yang bakal menjadi pemimpin negara suatu masa nanti.\nKekhuatiran ini juga berpanjangan apabila melihat perkembangan bahasa di media masa yang rata-ratanya gagal menerapkan adab berbahasa dengan baik. Sebahagian netizen yang terdiri daripada pelbagai umur ini langsung tidak sensitif, membuat komen tanpa tapisan dan cenderung kepada mempromosikan keaiban yang kelihatannya seperti suatu konflik adab kepada golongan netizen tersebut.\nTimbul persoalan di sini, adakah kerana golongan ini terlalu leka ditemani oleh robot atau mesin teknologi yang menyebabkan ketidakpedulian kepada pelbagai bentuk emosi individu atau juga sekadar mencari hiburan dan ingin melampiaskan tekanan yang dihadapi kepada orang lain tanpa memikirkan akibatnya?\nTepatlah peribahasa Melayu yang menyebut bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Didikan tentang adab dalam berbahasa ini perlu dilakukan ketika awal usia kanak-kanak lagi dan janganlah mengambil ringan hal ini kerana kelalaian akan memberikan banyak kemudaratan daripada kebaikan.\nBeberapa berita secara dalam talian melaporkan kes berkenaan kegagalan adab dalam berbahasa yang tidak mengira usia seperti \u201cBudaya Biadab Resapi Anak Muda\u201d (Berita Harian), \u201cSuri Rumah Didenda RM9000 Hina Yang Di-Pertuan Agong dalam Facebook\u201d (Utusan Malaysia) dan\u00a0 \u201cPadah Hina Agong di Facebook, Lelaki Ditahan Polis\u201d (mStar).\nBagi menyelesaikan masalah ini, sememangnya memerlukan prakarsa daripada pelbagai pihak. Didikan secara menghukum adalah suatu perkara yang merugikan dan langkah yang perlu diambil adalah dengan berbalik semula kepada fitrah kehidupan beragama yang mementingkan adab secara holistik dan tidak menganggap bahawa adab dalam berbahasa hanya diperjuangkan oleh masyarakat ortodoks semata-mata.\n\u00a0\nProfesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad \u2212 Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia." "Firma Asing Yakin Jalankan Perniagaan di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Alibaba Umum Keputusan Kewangan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHangzhou, China \u2013 Alibaba atau Kumpulan Alibaba mengumumkan keputusan kewangannya untuk suku dan tahun fiskal berakhir pada 31 Mac 2022. Pengguna aktif tahunan Kumpulan Alibaba di seluruh dunia mencapai kira-kira 1.31 bilion bagi tempoh 12 bulan yang berakhir pada 31 Mac 2022, meningkat sebanyak 28.3 juta daripada 12 bulan yang berakhir pada 31 Disember 2021. Jumlah ini, termasuklah lebih daripada 1 bilion pengguna di China, dan 305 juta orang pengguna di luar negara, mewakili peningkatan bersih pada suku tahunan sebanyak kira-kira 24.6 juta orang pengguna di China dan 3.7 juta orang pengguna di luar negara. Manakala, peningkatan bersih tahunan sebanyak 113 juta orang pengguna di China dan 64 juta orang pengguna di luar negara.\n\u201cAlibaba mencapai matlamat untuk memberikan perkhidmatan kepada satu bilion pengguna aktif tahunan di China pada suku tahun dan berjaya mencapai rekod RMB 8317 bilion dalam GMV global untuk tahun fiskal. Di sebalik cabaran besar yang memberikan kesan kepada rantaian bekalan dan sentimen pengguna, kami terus memfokuskan cadangan nilai pelanggan dan membina keupayaan untuk menyampaikan nilai. Kami melihat kemajuan yang ketara merentasi perniagaan kami, terutamanya dalam penambahbaikan operasi dalam bidang strategik utama,\u201d kata Daniel Zhang, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alibaba.\n\u201cMelihat ke hadapan, kita akan terus melaksanakan strategi pertumbuhan pelbagai jentera kami dengan mengukuhkan infrastruktur digital kami dan memfokuskan pertumbuhan berkualiti bagi mencipta nilai jangka panjang untuk pelanggan, pemegang saham dan pihak lain yang berkepentingan di seluruh ekosistem kami.\u201c\n\u201cKami memberikan keputusan yang sihat pada suku tahun ini dengan pertumbuhan hasil sebanyak 9% dari tahun ke tahun. Jumlah hasil bagi tahun fiskal meningkat sebanyak 19% dari tahun ke tahun walaupun persekitaran makro yang mencabar kami. Pelaburan berterusan dalam inisiatif strategik menjanakan momentum pertumbuhan yang menjanjikan dan kecekapan operasi yang lebih baik,\u201d kata Toby Xu, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Alibaba.\nBeliau menambah, \u201cMenjelang tahun fiskal 2023, kami akan menumpukan penjanaan hasil yang mampan dan berkualiti tinggi, pertumbuhan dan mengoptimumkan struktur kos operasi kami untuk meningkatkan pulangan keseluruhan" "Laporan Media Lempung Bebola Tidak Tepat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Laporan media melalui portal berita TheStar menyiarkan berita bertajuk \u201cBall clay export boom but shipment failed\u201d pada 9 Mei 2022 dirujuk. Berita tersebut melaporkan terdapat lebih kurang 110 000 tan lempung bebola (ball clay)\u00a0dengan nilai eksport berjumlah RM10 juta tidak dapat dieksport berikutan kelewatan mendapatkan kelulusan Permit Eksport (AP) dan peningkatan kos penghantaran akibat konflik Rusia\u2013Ukraine.\nYB Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Tenaga dan Sumber Asli,\u00a0 Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA)\u00a0 memandang serius isu yang dibangkitkan dan membuat semakan lanjut bersama Jabatan Mineral dan Geosains bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci. Hasil semakan mendapati tempoh 11 bulan yang dinyatakan dalam laporan media tersebut adalah meliputi pelbagai proses dan kelulusan yang melibatkan pelbagai agensi pada peringkat Negeri dan Persekutuan. Hal ini bukanlah merujuk kepada proses pengeluaran Lesen Eksport (AP) oleh KeTSA seperti\ndidakwa.\nRekod juga mendapati pihak yang mengemukakan laporan tersebut tidak memohon AP pada tahun 2021. Selain itu, jumlah stokpil lempung bebola yang disimpan di Pelabuhan Pulau Pinang pula adalah sebanyak 6000 tan metrik dan bukannya 110 000 tan metrik seperti mana yang dilaporkan.\nSehubungan dengan\u00a0 itu, KeTSA ingin menasihatkan pihak-pihak yang mempunyai sebarang masalah mengenai permohonan AP bagi mineral dan bahan batuan agar berurusan terus dengan KeTSA atau Jabatan Mineral dan Geosains Negeri untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan bantuan segera." "Perasmian Program Hari Industri Jualan Langsung Malaysia dan Pelan Hala Tuju Industri Jualan Langsung (2021\u20132025)\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Direct Selling Association of Malaysia (DSAM) dan Malaysian Direct Distribution Association (MDDA) menganjurkan Program Hari Industri Jualan Langsung Malaysia di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.\nProgram yang berlangsung dari 27 Mei 2022 hingga 29 Mei 2022 ini dirasmikan oleh YB Dato\u2019 Rosol Wahid, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.\nProgram Hari Industri Jualan Langsung Malaysia yang julung-julung kali diadakan ini merupakan inisiatif baharu yang menyasarkan kepada usaha mengembangkan industri jualan langsung dan memberikan pendedahan yang meluas mengenai aktiviti perniagaan jualan langsung yang sah di Malaysia seterusnya meningkatkan penglibatan lebih banyak pihak untuk menceburkan diri dalam industri ini yang mampu menjanakan sumber pendapatan.\nDengan bertemakan Khazanah Alam Jualan Langsung, program ini melibatkan 22 syarikat jualan langsung daripada DSAM dan MDDA bagi mempromosikan potensi perniagaan kepada orang ramai serta kelebihan produk jualan langsung. Aktiviti seperti sesi pitching dan pemadanan, sesi konsultasi, sesi ceramah, kempen advokasi dan pocket talk oleh KPDNHEP, DSAM, MDDA, dan wakil syarikat jualan langsung merupakan antara pengisian program utama untuk mendedahkan kepada masyarakat konsep perniagaan jualan langsung yang sah dan wajar diterokai kerana mampu menyumbangkan kepada perkembangan sosioekonomi negara.\nPada majlis perasmian tersebut, KPDNHEP turut melancarkan Pelan Hala Tuju Industri Jualan Langsung (2021 \u2013 2025) yang merupakan rangka tindakan yang akan menterjemahkan hala tuju industri jualan langsung pada masa depan. Dokumen ini digarap berdasarkan kepentingan semua pihak yang terlibat dalam industri ini bagi menjayakannya ke arah pewujudan ekosistem perniagaan yang lebih kondusif, dinamik dan mampu berkembang lebih jauh bukan sahaja pada peringkat domestik, tetapi hingga peringkat global.\nKejatuhan ekonomi dunia disebabkan pandemik COVID-19 menyaksikan industri jualan langsung negara tumbuh dengan memberangsangkan hingga berkembang menjadi satu industri besar yang menyumbang kepada ekonomi negara dan mencapai nilai jualan RM25.7 bilion bagi tahun kewangan berakhir tahun 2020.\nMalaysia kini berada pada kedudukan ketujuh pada peringkat global dan keempat di Asia Pasifik dari segi rekod nilai jualan dalam Laporan Jualan Peruncitan Jualan Langsung Global 2020 yang dikeluarkan oleh Persekutuan Persatuan Jualan Langsung Dunia atau World Federation of Direct Selling Associations (WFDSA).\nProgram yang dianjurkan ini merupakan manifestasi KPNDHEP kepada usaha pembangunan berterusan industri jualan langsung yang lebih progresif bagi memastikan industri ini menjadi satu sektor utama yang menyumbang kepada pendapatan negara. KPDNHEP optimis untuk menggiatkan usaha dan strategi yang holistik bagi memastikan persepsi masyarakat mengenai perniagaan jualan langsung akan berubah yang sebelum ini banyak pihak yang masih beranggapan bahawa industri ini mempromosikan perniagaan berasaskan skim piramid atau skim cepat kaya.\nKPDNHEP bersama-sama rakan strategik lain akan meneruskan usaha untuk meningkatkan syarikat jualan langsung yang mempunyai lesen yang sah daripada Kementerian di samping merancakkan pelbagai inisiatif bagi memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai potensi perniagaan jualan langsung." "Keuntungan Suku Pertama Petronas Chemicals Meningkat kepada RM2.1 Bilion\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Impak Positif PKS Hasil Lawatan Kerja Perdana Menteri Malaysia ke Jepun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Lawatan kerja YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia ke Jepun pada 27 Mei 2022 merupakan langkah proaktif bagi menggiatkan sektor ekonomi di Malaysia seterusnya mengeratkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan Jepun.\nSemasa lawatan tersebut, beliau turut menyertai sesi ramah mesra dan penyerahan dokumen bersama syarikat Jepun dan bertemu pemain industri dari syarikat pelbagai bidang, termasuklah minyak dan gas, pembuatan serta perkhidmatan bagi mengintai peluang pelaburan.\nYB Tan Sri Noh Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas usaha tersebut yang memberikan impak positif dan suntikan baharu kepada sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia agar terus berkembang pesat, terutamanya selepaspandemik.\nYB Tan Sri Noh berkata, \u201cDalam pertemuan Perdana Menteri Malaysia bersama-sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mitsui Fudosan Co. Ltd, Masanobu Komoda turut membincangkan potensi Malaysia sebagai hab penting bagi mengembangkan perniagaan dan pelaburan Mitsui Fudosan.\n\u201cTerbaharu, syarikat multinasional tersebut bertapak di Bukit Bintang City Centre (BBCC) dengan nilai pelaburan berjumlah RM1.8 bilion dan projek tersebut melibatkan usaha sama UDA Holdings Berhad agensi di bawah KUSKOP.\n\u201cPelaburan tersebut telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan serta membantu memperkasakan Bangsa Usahawan menerusi penyediaan ruang perniagaan bertaraf antarabangsa di lokasi strategik. Usahawan khususnya PKS harus mengambil peluang untuk memperkasakan perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi.\u201d kata beliau.\n\u00a0\n(Sumber gambar: Facebook Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob \u2013 bertali leheri biru)" "Ekonomi Malaysia Dijangka Terus Berkembang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Permintaan Berdaya Tahan Sumbang Kejayaan Suku Tahun Pertama 2022 TIME\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 TIME dotCom (TIME atau Kumpulan) mengumumkan keputusannya bagi suku tahun berakhir 31 Mac 2022 dengan hasil Kumpulan disatukan sebanyak RM369.4 juta atau sebanyak 11.5% pertumbuhan dari tahun ke tahun. Semua kumpulan pelanggan teras, iaitu runcit, perusahaan dan borong, menyumbang kepada pertumbuhan hasil, disebabkan oleh permintaan yang berdaya tahan untuk pusat data dan penawaran data daripada kumpulan.\nKeuntungan sebelum cukai disatukan bagi tempoh dalam tinjauan susut sebanyak 1.7% kepada RM123.3 juta berbanding dengan RM125.4 yang dicatatkan bagi tempoh yang sama tahun lalu. Situasi ini boleh dikaitkan dengan susut nilai yang lebih tinggi yang dikenakan untuk hartanah, loji dan peralatan serta aset hak guna juga sebagai kos berkaitan kakitangan yang lebih tinggi dan kesan pergerakan pertukaran asing.\n\u201cKami gembira dengan permulaan tahun yang kukuh. Kami optimistik dengan berhati-hati bahawa permintaan untuk TIME penawaran produk dan perkhidmatan akan terus mencatat pertumbuhan dengan pembukaan semula ekonomi.\nSecara strategik, Kumpulan terus melabur dalam pengembangan rangkaian untuk menyokong keperluan ketersambungan sebagai serta membantu negara mencapai objektif ekonomi digitalnya.\nPada peringkat serantau, kami masih melihat tahap permintaan yang sihat untuk kedua-dua sambungan rentas sempadan dan penawaran pusat data. Kami akan terus memperbaharu produk dan perkhidmatan kami untuk memenuhi keperluan pelanggan,\u201d kata Afzal Abdul Rahim, Ketua Komander TIME.\nTIME ialah penyedia telekomunikasi yang menyampaikan sambungan domestik dan global, pusat data, pengkomputeran awan, dan perkhidmatan terurus kepada pelanggan di seluruh ASEAN. Memperkasakan perniagaan TIME ialah aset rangkaian gentian optiknya yang menjangkau Malaysia, Singapura, Thailand, Vietnam, dan Kemboja." "Syarikat Malaysia Perlu Sertai CAEXPO 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan memanfaatkan Ekspo China\u2013ASEAN ke-19 (CAEXPO) 2022 yang akan diadakan dari 16 September 2022 hingga 19 September 2022 di Guangxi, China untuk menggalakkan kesedaran lebih lanjut mengenai Malaysia. keupayaan eksport ke bandar-bandar baharu muncul di China.\nSelain diberi penghormatan sekali lagi sebagai Negara Kehormat tahun ini (sebelum ini adalah pada tahun 2011), kebolehlihatan syarikat Malaysia pada acara tahun ini tepat pada masanya dengan pengesahan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau atau\u00a0 Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) baru-baru ini, kerjasama penting antara Malaysia dengan China, dan negara-negara penandatangan lain.\n\u201cCAEXPO ialah pameran perdagangan yang mantap dalam kalangan pengeksport Malaysia selama ini. MATRADE menyelaraskan penyertaan Malaysia dalam CAEXPO sejak penubuhannya pada tahun 2004. CAEXPO menyaksikan pengembangan perniagaan yang cemerlang oleh syarikat Malaysia ke China. CAEXPO juga diperuntukkan sebagai platform penting bagi PKS Malaysia untuk mempromosikan dan menjenamakan produk mereka, khususnya ke China. Hal ini terbukti apabila CAEXPO mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengeksport Malaysia setiap tahun,\u201d ulas Amran Yem, Pengarah Kanan MATRADE dalam webinar yang diadakan sebelum ini.\nWebinar, iaitu \u201cDiscover Expand Your Business into China Market with CAEXPO\u201d menekankan peranan CAEXPO ke-19 (2022) sebagai platform yang boleh dipercayai dan berkesan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) meningkatkan kebolehlihatan produk dan perkhidmatan Malaysia di China. Webinar ini turut menampilkan Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Guangzhou (Mohamad Haris Abdul Latiff) yang berkongsi kemas kini terkini mengenai ekonomi dan aktiviti perniagaan China serta menekankan kepentingan pengetahuan media sosial yang diperlukan untuk berjaya dalam pasaran. Penceramah lain juga menyediakan kemas kini tentang peraturan untuk mengeksport barangan ke China.\nTahun ini menandakan penyertaan Malaysia ke-19 berturut-turut dalam CAEXPO. MATRADE merancang untuk mempunyai sejumlah besar pempamer bagi menyertai CAEXPO akan datang bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang pada tahun ini dengan keistimewaan yang jarang-jarang berlaku sebagai peserta negara kehormat. \u00a0Sebagai negara terhormat pada tahun ini, MATRADE merancang beberapa siri aktiviti termasuk seminar, sesi padanan perniagaan, sesi penstriman langsung bersama-sama Pemimpin Pendapat Utama atau Key Opinion Leader (KOL), persembahan seni dan budaya dan lain-lain semasa acara itu.\nMATRADE akan terus bekerjasama dengan China Construction Bank (CCB) dan persatuan dan majlis perniagaan terkemuka lain selain Sekretariat CAEXPO untuk menganjurkan Sesi Mesyuarat Perniagaan B2B China\u2013Malaysia ke-4 bersempena dengan CAEXPO. Hasil positif diperoleh dalam acara MATRADE sebelum ini dan lebih daripada 100 mesyuarat perniagaan diatur untuk pembeli China bertemu dengan peserta pameran Malaysia pada tahun lepas.\nMATRADE menggesa semua syarikat Malaysia yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada Pavilion Malaysia di CEXPO 2022 untuk berhubung segera dengan MATRADE.\u00a0Sila daftar dalam acara tersebut sebelum 17 Jun 2022 (Jumaat) di http://www.matrade.gov.my/en/international-trade-event-list atau dengan menghubungi Hon Jia Xin di talian 03-62077234 (jia@ matrade.gov.my)." "Bantuan Kewangan RM1500.00 untuk Pemandu Pelancong Berlesen\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebanyak 7100 orang pemandu pelancong berlesen di bawah Kementerian Seni Pelancongan dan Budaya (MOTAC) menerima bayaran bantuan sebanyak RM1500.00. Pemandu pelancong yang menerima bayaran ini memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Tempoh bayaran adalah dari bulan Mac 2022 hingga Jun 2022.\nPemandu Pelancong Berlesen yang layak berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan untuk menerima bayaran bantuan RM1,500.00 di bawah inisiatif Bajet 2022 tetapi belum menerima bantuan adalah dimohon untuk melengkapkan borang berserta dokumen di pautan\u00a0https://forms.gle/ULD46kmgxRDsyV7s7.\nPemandu Pelancong yang telah menerima bayaran bantuan ini\u00a0TIDAK PERLU\u00a0mengisi borang ini.\u00a0Permohonan ini dibuka hingga 31 Mac 2022\u00a0dan jika terdapat pertanyaan sila hantar ke\u00a0[email\u00a0protected].\nSyarat Kelayakan" "Psikologi Bahasa dalam Pengasuhan Digital Keluarga Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Pengasuhan digital (digital parenting) berupaya membantu ibu bapa dalam mendidik anak-anak pada hari ini khasnya melalui psikologi bahasa pada era teknologi yang semakin kompleks dan mencabar. Psikologi bahasa merupakan satu daripada elemen terpenting dalam melahirkan Keluarga Malaysia yang benar-benar memahami dan menjadi tunjang aspirasi kerajaan khususnya daripada kesan pandemik COVID-19.\n\u201cPenggunaan alat peranti sememangnya digalakkan dan cara pengasuhan digital oleh Keluarga Malaysia dapat memberikan impak yang lebih berkesan kepada komunikasi, gaya berbahasa, adab sopan, keperluan maklumat dan sebagainya.\u201d\nDemikian antara pengisian menarik yang dikongsi oleh Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Pengarah Hal Ehwal Bahagian Korporat, Pejabat Penolong Naib Canselor (Perkhidmatan), Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Beliau berkata demikian menerusi BERNAMA Radio, yang dikendalikan oleh penyampai, Shuhadah Armawan dan penerbit, Irfan Faruqi, yang memfokuskan tentang \u201cPsikologi Bahasa Anak-anak Malaysia\u201d.\nAnak-anak dalam Keluarga Malaysia ialah generasi muda yang mudah terdedah pada kepesatan komunikasi secara terbuka sehingga meminggirkan adab sopan serta tatasusila yang telah diajar dan diwarisi oleh generasi sebelumnya. Oleh itu, mereka mestilah sentiasa dipantau kerana sering dipengaruhi oleh beberapa faktor. Antaranya termasuklah latar geografi, gaya tersendiri, penggunaan istilah serta laras bahasa yang menambahkan kerencaman hal ini yang turut memberikan kesan pro dan kontra kepada mereka dan juga seluruh Keluarga Malaysia khususnya dalam komunikasi demokratik.\nMenurut beliau, psikologi bahasa mengkhususkan pemikiran seseorang atau kelompok manusia yang menghasilkan bahasa daripada komunikasi. Pada hari ini, komunikasi melalui media sosial menjadi medan utama bagi generasi muda mengekspresikan diri serta pemikiran mereka. Ada segelintir daripada mereka yang tidak mempedulikan adab sopan khususnya dalam berbahasa dan hal ini perlu diberikan perhatian oleh Keluarga Malaysia.\nTambahnya lagi, keterbukaan dalam berkomunikasi boleh menyumbang kepada jaringan maklumat palsu dan isu yang berunsurkan fitnah. Sekiranya perkara ini tidak dikawal boleh mengakibatkan kesan yang lebih buruk, iaitu menjejaskan perpaduan negara yang telah terbina.\nPendedahan amalan membaca dalam kalangan anak-anak Keluarga Malaysia juga antara faktor yang dilihat boleh membantu perkembangan komunikasi dan kesantunan berbahasa mereka sama ada melalui bahan bacaan di internet ataupun bahan bacaan bercetak. Kesemua ini boleh mempengaruhi bahasa mereka. Contohnya, bahan bacaan yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka seperti majalah Dewan Pelajar\u00a0dan Dewan Siswa boleh membantu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran berbahasa golongan muda ini." "FGV Kembali Catat Keuntungan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Bantuan Kewangan 2022 kepada TOBTAB dan MM2H Berlesen\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013Kerajaan melalui Bajet 2022 mengumumkan berkenaan pemberian Bantuan Khas kepada lebih 20 000 orang pengusaha pelancongan yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) untuk tempoh tiga bulan dengan peruntukan sebanyak RM85 juta. Peruntukan ini, termasuklah bantuan kepada Syarikat TOBTAB dan MM2H yang berlesen di bawah MOTAC.\nBantuan Kewangan Tahun 2022 ini merupakan satu inisiatif Kerajaan bagi membantu sektor pelancongan yang merupakan antara segmen yang sangat terjejas dalam tempoh pandemik COVID-19 ini. Diharap inisiatif ini dapat membantu Syarikat TOBTAB dan MM2H untuk terus berdaya saing, seterusnya dapat membantu memulihkan semula sektor pelancongan negara.\nTarikh tutup permohonan ditetapkan pada 15 Mac 2022 dan sebarang permohonan yang dikemukakan selepas tarikh tersebut tidak akan dilayan. Tempoh yang diambil bagi proses pelaksanaan penyaluran bantuan kewangan ini bergantung pada kesempurnaan maklumat dan data yang diperoleh daripada syarikat TOBTAB dan MM2H. Oleh hal yang demikian, ketepatan maklumat adalah sangat penting bagi memudahkan dan melicinkan proses ini.\nButiran yang tepat perlu diberi kepada pihak Kementerian bagi memastikan penyaluran dapat dibuat dengan teratur. Pengumpulan dan pengemaskinian maklumat ini akan dilaksanakan oleh Pejabat MOTAC Negeri. Sila hubungi Pejabat MOTAC Negeri yang berdekatan untuk maklumat lanjut." "Permintaan Perdagangan Kayu dan Produk Kayu Meningkat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Inflasi Meningkat 2.5% dengan 184 Item Makanan Naik pada 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Kenaikan OPR dan Pertumbuhan Pembiayaan Dijangka Perlahan Pada Separuh Kedua 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Harga Kereta Dijangka Naik 1% Hingga 3% dengan Pelaksanaan Semula GST\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Patuh Sepenuhnya Isu Buruh\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Kerajaan Fokus Empat Bidang Utama dalam Belanjawan 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMenurut kenyataan itu, usaha berterusan bagi mengukuhkan tadbir urus sektor awam dan meningkatkan inisiatif pembaharuan institusi, NACP telah dilancarkan pada tahun 2019 untuk memerangi rasuah dan meningkatkan integriti. \u201cPelan lima tahun itu menggariskan enam bidang keutamaan yang perlu diberi tumpuan iaitu tadbir urus politik, pentadbiran sektor awam, perolehan awam, perundangan dan kehakiman, penguatkuasaan undang-undang dan tadbir urus korporat.\u201c Kenyataan itu memaklumkan kerajaan akan terus mengutamakan transformasi penyampaian perkhidmatan awam agar menjadi lebih cekap dan berkesan dalam memenuhi keperluan rakyat." "DBP Memperkasakan Industri Penerbitan Berkualiti \u2013 Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Mantan Yang di-Pertua Negeri Melaka, YBhg. Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob melancarkan Buku Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dari tahun 2020 hingga tahun 2022 bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022.\n\n\nDalam ucapan perasmian, YBhg. Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob menzahirkan penghargaan kepada DBP atas tanggungjawab dan usaha gigih DBP sejak penubuhannya memperjuangkan bahasa kebangsaan dan menyemarakkan industri perbukuan dan penerbitan tanah air yang menyumbang kepada ekonomi negara pascamerdeka dengan menerbitkan banyak bahan bacaan yang berkualiti tinggi kepada masyarakat.\nBeliau turut merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada DBP yang menerbitkan dua buah buku beliau. DBP menerbitkan dua buah buku beliau, iaitu\u00a0 Artists \u2013 Potraits and Images (2019). Buku mewah ini diterbitkan dengan kerjasama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) yang mengandungi 64 buah lukisan potret dan pemandangan yang dilukiskan oleh beliau ketika beliau memegang jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka,\u201c ujar YBhg. Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob.\nBuku kedua YBhg. Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob yang diterbitkan oleh DBP ialah Kebijaksanaan Pemerintahan Sultan Melaka 1446\u20131488 yang merupakan tesis PhD. beliau. Buku ini mendapat pengiktirafan dalam Anugerah Buku Malaysia 2020\u00a0 bagi kategori \u201cBuku Pemimpin Negara Semasa.\nDalam ucapan beliau, YBhg. Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob berharap agar DBP terus memperjuangkan dan memperkasakan bahasa, sastera dan budaya pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.\nSementara itu,\u00a0 Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan merakamkan penghargaan kepada YBhg. Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob atas kejayaan buku beliau yang bertajuk Kebijaksanaan Pemerintahan Sultan Melaka 1446\u20131488 yang memenangi Anugerah Buku Malaysia bagi kategori \u201cBuku Pemimpin Negara Semasa\u201c.\nYBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada YBhg. Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob atas sumbangan buah fikiran beliau untuk terus memartabatkan bahasa, sastera dan budaya di Malaysia.\nDalam majlis tersebut juga, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menzahirkan penghargaan\u00a0 kepada Bahagian Buku Umum, DBP atas kejayaan menghasilkan 150 judul buku walaupun berdepan dengan kekangan disebabkan oleh pandemik COVID-19. Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada para pemenang Anugerah Buku Negara dan Anugerah PERSAMA.\nYBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menyeru dan berharap agar karyawan DBP terus giat berkarya dan menyumbangkan karya mereka bagi mengupayakan pembinaan tamadun yang hebat.\nMajlis pelancaran Buku Terbitan DBP dari Tahun 2020 hingga Tahun 2022\u00a0 turut dihadiri oleh Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehudin Abg Shokeran, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Dr. Abang Patdeli Abang Muhi, dan Encik M. Azhari Eden yang mewakili Pengarah Jabatan Penerbitan, Tuan Haji Razali Che Mat." "Industri Perbukuan Bermula dengan Dunia Cerita\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja melaksanakan program Ceritalah Lagi bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 (PABKL) di Reruai DBP, Legar Putra, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.\nProgram dengan kerjasama NAI Art Studio ini menampilkan pembicara buku dan pencerita, Encik Nor Azhar Ishak atau Cikgu Nai. Beliau menyampaikan cerita yang berjudul Indahnya Pulau Sipadan.\n\nProgram ini memberikan pengetahuan dan pengalaman luar biasa kepada penonton yang dibawakan khas oleh Markas Angkatan Tentera, Kuala Lumpur, iaitu murid dari Sekolah Desa Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur. Sebanyak 40 orang murid yang hadir didedahkan dengan dunia penceritaan, penulisan dan perbukuan.\nSelain sesi Ceritalah Lagi, kanak-kanak juga diberi pendedahan tentang hidupan laut melalui aktiviti berkumpulan. Program ini juga menyediakan hadiah menarik untuk kanak-kanak yang berjaya menjawab soalan dalam segmen kuiz di samping menjadi daya tarikan, menanam rasa minat dan menggalakkan budaya membaca kepada khalayak, khususnya golongan kanak-kanak." "Variasi Permainan Kosa Kata\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPenguasaan kosa kata sesuatu bahasa mendatangkan banyak manfaat. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan adanya penguasaan kosa kata yang mantap, seseorang akan dapat memahami maklumat yang diujarkan atau yang dibaca dan menyampaikan maksudnya dengan jelas. Dalam hal ini, jika dia turut menguasai tatabahasa, dia akan dapat mencapai tahap penguasaan bahasa yang tinggi.\nBagi seseorang calon peperiksaan, penguasaan kosa kata yang luas dan bervariasi membolehkannya menjawab soalan peperiksaan dan menghasilkan karangan yang berkualiti. Selain itu, penguasaan kosa kata yang luas akan membolehkan seseorang murid mengenal sastera dan budaya Melayu di luar ruang lingkup bilik darjah dan sukatan pelajaran Bahasa Melayu. Dengan hal sedemikian, barulah murid tersebut dapat dikatakan sebagai pengguna bahasa Melayu yang cekap dan hebat.\nDisebabkan hal sedemikian, guru bahasa Melayu perlu membantu para murid memperkasakan pengetahuan kosa katanya sedikit demi sedikit. Hal ini dikatakan demikian kerana usaha untuk menghafal semua kata yang sukar dan berguna sekali gus mungkin terlalu sukar sehingga hal sedemikian mungkin mematikan semangat murid untuk terus berusaha. Oleh hal yang demikian, pemantapan kosa kata eloklah dilakukan secara ansur maju secara konsisten sepanjang tempoh persekolahan seseorang murid.\nSatu cara untuk menambah kosa kata murid adalah melalui permainan singkat dalam aktiviti pengajaran\u2212pembelajaran (pemudahcaraan) harian. Meskipun masa yang terluang sekadar beberapa minit, guru masih dapat menyelitkan satu dua permainan kosa kata untuk meningkatkan dan mengukuhkan ingatan para murid.\nPermainan pertama berkaitan dengan proses penggantian. Dal hal ini, guru boleh menggantikan huruf atau imbuhan dalam kata atau kata dalam frasa, dan kemudiannya meminta murid menjelaskan maksudnya. Sekiranya tiada jawapan yang tepat, guru boleh memberikan maksud kata dan contoh ayat untuk memantapkan pemahaman para murid. Sila lihat contoh yang berikut:\nPermainan seterusnya melibatkan kata nama dengan penjodoh bilangan. Dalam hal ini, guru boleh mengemukakan penjodoh bilangan dan meminta murid memberikan kata nama yang berpadanan, atau sebaliknya. Sebagai contoh, gandingan penjodoh bilangan dengan kata nama adalah seperti yang berikut:\nBagi kata ganda pula, guru boleh mencuba pelbagai pendekatan. Bagi kata ganda berentak, guru boleh menyatakan kata dasar dan meminta murid memberikan gandingannya. Seterusnya, murid boleh diajak berbincang tentang maksud kata ganda berentak yang berkenaan. Sila lihat contoh yang berikut:\nBagi kata ganda lain, guru boleh memberikan kata gandanya, kemudiannya meminta murid menyatakan maksudnya dan seterusnya membina ayat dengannya. Contoh kata ganda tersebut adalah seperti yang berikut:\nGuru boleh juga menyatakan kata umum (kata hipernim atau superordinat) dan meminta murid menyatakan kata khusus (hiponim) yang berkaitan. Sila lihat contoh yang berikut:\n\u00a0\nKata umum:\u00a0 \u00a0 memotong\nKata khusus:\u00a0\u00a0 menebas, menebang, mengerat, memangkas, mengelar, menakik, membelah, menghiris, melapah, mencencang, \u00a0memarang, menetak\n\u00a0\nKata umum:\u00a0\u00a0 memasak\nKata khusus: menanak, menjerang, memais, memanggang, membakar, merebus, menumis, menggoreng, menggoreng kilas, mengukus, menyalai, menstu, merendidih\n\u00a0\nKata umum:\u00a0 \u00a0membawa\nKata khusus: mendukung, memikul, mengandar, menjinjing, membimbit, menggendong, mengendong, mengelek, menjunjung\n\u00a0\nKata umum:\u00a0 bunga\nKata khusus: seri pagi, bunga raya, kekwa, teratai, kenanga, mawar, bunga kertas, cempaka, melur, orkid\n\u00a0\nKata umum:\u00a0 hidupan akuatik\nKata khusus: ubur-ubur, kerapu, udang gara, kuda laut, ketam bunga, belangkas, belacak, temakul, buaya, belanak, temenung, pisang-pisang, cencaru\n\u00a0\nGuru boleh juga meminta murid menyatakan maksud kumpulan kata yang bentuknya hampir serupa. Sila lihat contoh yang berikut:\nmenempa \u2013 menempah\nbangsa \u2013 bangsal\npeka \u2013 leka\nguruh \u2013 gemuruh\nresmi \u2013 rasmi\nseluruh \u2013 seloroh\nintensif \u2013 insentif \u2013 inisiatif\neksklusif \u2013 eksekutif\nintegriti \u2013 integrasi\ninspirasi \u2013 aspirasi\nefisien \u2013 efektif\nkritis \u2013 kreatif\ntelus \u2013 tulus\n\u00a0\nGuru boleh menyatakan sesuatu akronim dan meminta murid-murid menyatakan kata yang dipendekkan dan dicantum untuk menghasilkannya. Sila lihat contoh yang berikut:\nhakis \u2013 habis + kikis\npawagam \u2013 panggung + wayang + gambar\nkugiran \u2013 kumpulan + gitar + rancak\npurata \u2013 pukul + rata\ntekal \u2013 tetap + kekal\nberdikari \u2013 berdiri + di + atas + kaki + sendiri\nasbut \u2013 asap + kabut\n\u00a0\nUntuk menguji sama ada murid mengetahui istilah terkini, guru boleh menyebut istilah dalam bahasa Inggeris dan meminta murid menterjemahkannya. Sila lihat contoh yang berikut:\ntampered glass \u2013 kaca yang dibaja\nshatter-proof glass \u2013 kaca kalis berderai\nbooby trap \u2013 jerangkap samar\nroad show \u2013 jerayawara\ninfluencer \u2013 pempengaruh\nkillfie \u2013 swafoto maut\ndashboard \u2013 papan pemuka\nprofiteering \u2013 pencatutan harga\nchild grooming \u2013 pengantunan kanak-kanak\nsexual assault \u2013 amang seksual\n\u00a0\nSelain aktiviti yang tersenarai di atas, guru boleh juga menguji murid dari segi pengetahuan mereka tentang homofon, homograf, homonim, antonim, sinonim, kolokasi, polisemi, kata berimbuhan, kata majmuk, dan sebagainya." "RMK12 akan Ubah Malaysia Menjadi Ekonomi Pekeliling Mampan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "OPR Beransur-ansur Normal Pada 2.25% Menjelang Akhir Tahun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Jati Diri Bangsa dalam Industri Kreatif\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Anugerah Telenovela malam tadi menganjurkan program kemuncak Jelajah Anugerah Telenovela MERECIK Edisi ATN ke-8. Program tersebut\u00a0 dijayakan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN)\u00a0 dengan penaja Ayu Pictures, Yuela Gold dan Majlis Profesor Negara (MPN) disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube DATV yang menampilkan pengacara istimewa, Syafiqah Rahim daripada RTM.\nProgram yang berlangsung selama dua jam itu dimulakan dengan perkongsian daripada gandingan pempengaruh perpaduan, iaitu\u00a0 Profesor Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan MPN bersama-sama Puan Rabi\u2019ahtuladawyah Md Saleh, Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka.\nProfesor Madya Ts. Dr. Jessica dan Puan Rabi\u2019ahtuladawyah dengan FB JR Integrasi Minda (JRIM)\u00a0 menjayakan segmen \u201cPuisi Kita Mendunia\u201c yang dikupas oleh YBrs. Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman, seorang pensyarah, penyair dan penterjemah profesional.\nYBrs. Dr. Rajeswari menekankan peri pentingnya memartabatkan bahasa kebangsaan dalam industri kreatif dan kegiatan penterjemahan karya-karya tempatan yang berlaku dengan pesat dan diterajui bersama-sama Persatuan Penterjemah Malaysia dan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM). Dalam segmen tersebut, pelibatan pengunjung juga diraikan dengan deklamasi puisi dan menjawab kuiz mudah.\nJelajah Anugerah Telenovela MERECIK Edisi ATN ke-8\u00a0 diteruskan oleh YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Wira Dr.\u00a0 Abdul Latif Abu Bakar, Pengerusi Lembaga Pengelola YPBN. Beliau memerihalkan kesungguhan dan komitmen YPBN dalam menggiatkan industri kreatif dalam negara, khususnya kreativiti karya bersumberkan buku, iaitu adaptasi buku ke layar dan televisyen. Penganjuran anugerah tersebut juga menjadi motivasi kepada karyawan untuk bersama-sama mendukung aspirasi YAB Perdana Menteri Malaysia untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan.\nYBrs. Dr. Suraiya Chapakiya, pensyarah dari Universiti Fatoni, Thailand menyentuh tentang kesungguhan dan cabaran berkreativiti berteraskan ajaran Islam dalam kalangan masyarakat di sana, khususnya di universiti. Seni yang jauh daripada amalan Islam sudah tidak diamalkan lagi dan pendekatan deklamasi sajak serta puisidra merupakan aktiviti yang sentiasa mendapat perhatian masyarakat di selatan Thai yang majoritinya beragama Islam itu.\nDalam program tersebut juga, Wakaf Buku disampaikan daripada penyumbang, iaitu ITBM, DBP, IKIM, YADIM, Karya Seni dan Love Novel kepada Universiti Fatoni. Persembahan nyanyian oleh Ippo Hafiz dan persembahan khas deklamasi puisi oleh\u00a0 Tuan Kamarazaman Yacob berjaya menarik perhatian pengunjung PBAKL 2022. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBrs. Dr. Kamarul Zaman Yusoff, Pegawai Khas kepada\u00a0 Perdana Menteri." "KUSKOP Tekal Melahirkan Bangsa Usahawan Berjaya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PABKL) 2022 (13\u201312 Jun 2022) yang dikendalikan oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) berjaya melibatkan 167 buah syarikat perbukuan yang menyaksikan sebanyak 709 buah reruai menghidangkan pelbagai bahan buku untuk memeriahkan \u201cpesta hari raya buku\u201d yang dianggap penganjuran pesta buku terbaik sejak 39 kali diadakan. PABKL 2022 dilihat sebagai permulaan memulihkan kembali industri perbukuan negara sepenuhnya yang terkesan akibat pandemik COVID-19.\n\n\nPABKL 2022 yang berlangsung selama 10 hari itu ditutup semalam disempurnakan oleh Yang Berhormat Tan Sri Noh Haji Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). Dalam ucapan beliau, Tan Sri Noh memberikan suntikan keyakinan kepada seluruh penggiat dan pemain industri perbukuan negara.\nBeliau turut berkongsi pengalaman beliau terlibat dalam arena perbukuan yang bermula sebagai seorang pendidik. Beliau turut menimba pengalaman sebagai penterjemah di bawah seliaan Puan Ainon Mohd yang ketika itu merupakan pegawai di Dewan Bahasa dan Pustaka, dan kini merupakan Pengerusi Kumpulan PTS.\nBeliau sendiri tidak menjangkakan bahawa pesta buku yang dianjurkan kali ini mendapat sambutan luar biasa lantaran budaya baharu yang melanda generasi Keluarga Malaysia, iaitu membaca secara digital, e-buku dan melalui alat peranti, khususnya telefon pintar yang dianggap lebih mudah, ringkas dan hanya di hujung jari.\nTernyata sangkaan tersebut meleset dan budaya membaca secara fizikal masih menjadi amalan dan budaya kekal yang diamalkan oleh seluruh Keluarga Malaysia. Berdasarkan statistik yang diumumkan oleh penganjur, jelas pada pandangan beliau bahawa KUSKOP tidak akan membiarkan penggiat dan pemain industri perbukuan Malaysia dibiarkan begitu sahaja, mandiri dengan semangat dan ketekalan yang tidak berbelah bahagi bagi kelangsungan mereka dalam kancah industri ini.\nMenurut beliau, KUSKOP akan terus memastikan bangsa usahawan berjaya akan dapat dilahirkan daripada sokongan, bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh kementerian yang diterajuinya. Menerusi 11 buah agensi di bawah KUSKOP, beliau juga menjelaskan bahawa syarikat penerbitan, percetakan perlu mengambil tindakan dengan bijak menghubungi agensi-agensi ini agar dapat diberi perundingan dan bantuan sama ada pinjaman mahupun geran. Usaha ini dapat memastikan bahawa kelangsungan usahawan dalam industri ini dilakukan bijak dan tepat.\nTan Sri Noh mengumumkan pinjaman hingga RM100 000.00 disediakan oleh agensi TEKUN hingga yang boleh dimohon oleh pemain industri ini. Sekiranya layak, pemohon berkaitan perbukuan boleh mendapat dana hingga RM10 juta. Maklumat lanjut berkaitan dengan hal ini boleh dirujuk kepada Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).\nSelain itu, terdapat juga institusi kewangan di bawah seliaan KUSKOP yang menawarkan pinjaman hingga lebih daripada RM10 juta bagi mendukung industri ini, iaitu Bank SME dan Bank Rakyat. Sama ada bantuan dalam bentuk geran atau pinjaman, beliau menegaskan lagi, pemain industri perbukuan mesti merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan ini agar industri perbukuan negara terus hidup dan buku-buku terbaik akan terus diterbitkan dan kelak akan berjaya membina bangsa.\nSelain geran dan pinjaman berkaitan dengan industri perbukuan, Tan Sri Noh juga mengumumkan bahawa kementeriannya memperuntukkan sebanyak RM100 juta kepada mana-mana usahawan perbukuan yang terkesan akibat bencana banjir yang berlaku tahun lalu. Pinjaman tanpa faedah sebanyak RM100 ribu disediakan kepada pemilik kedai buku, syarikat penerbitan, syarikat percetakan, pengedar, dan lain-lain. Selain itu, penggiat atau usahawan kecil perbukuan yang terjejas juga layak memohon geran sebanyak RM3000.00 untuk memulihkan perniagaan yang terjejas akibat banjir.\nSebelum itu, Encik Khair Ngadiron, Urus Setia Tetap MBKM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2022 mendedikasikan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran pesta buku yang dianggap paling berjaya kali ini selepas pelbagai cabaran dilalui sepanjang tempoh dua tahun ini.\nSebanyak 1 363 757 orang pengunjung direkodkan selama 10 hari PABKL 2022 berbanding dengan hanya 670 000 orang pengunjung pada tahun 2019. Jumlah ini melebihi sasaran penganjur yang menjangka hanya mencapai 900 000 ribu orang. Manakala sejumlah 13.6 juta tontonan tanda pagar PBAKL di media sosial membuktikan kesetiaan Keluarga Malaysia kepada penganjuran pesta buku ini.\nDaripada data ini juga membuktikan bahawa Keluarga Malaysia sememangnya amat menyokong usaha membijaksanakan bangsa, khususnya daripada amalan budaya membaca dan mencintai buku. Beliau berharap agar usaha mengekalkan budaya membaca serta cintakan buku ini akan dapat direalisasikan oleh seluruh Keluarga Malaysia tanpa mengira masa.\nMajlis penyampaian hadiah reruai terbaik daripada enam kategori yang dipertandingkan oleh penganjur turut disampaikan oleh Yang Berhormat Tan Sri Noh Haji Omar. Turut menyerikan acara ialah Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Datin Paduka Mastura Haji Mohamad, wakil Negeri Tamu Selangor Darul Ehsan." "Cemerlang! Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 Catat 1 363 757 Pengunjung\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PABKL) 2022 (3\u201312 Jun 2022) yang dikendalikan oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) berjaya melibatkan 167 syarikat perbukuan yang menyaksikan sebanyak 709 buah reruai menghidangkan pelbagai bahan buku untuk memeriahkan \u201cpesta hari raya buku\u201d yang dianggap penganjuran pesta buku terbaik sejak 39 kali diadakan. PABKL 2022 dilihat sebagai permulaan memulihkan kembali industri perbukuan negara sepenuhnya yang terkesan akibat pandemik COVID-19.\nEncik Khair Ngadiron, Urus Setia Tetap MBKM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2022 mendedikasikan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran pesta buku yang dianggap paling berjaya kali ini selepas pelbagai cabaran dilalui sepanjang tempoh dua tahun sebelum ini.\n\nSebanyak 1 363 757 orang pengunjung direkodkan selama 10 hari PABKL 2022 berbanding dengan hanya 670 000 orang pengunjung pada tahun 2019. Jumlah tersebut melebihi sasaran penganjur yang menjangka hanya mencapai 900 000 ribu orang. Manakala, sebanyak 13.6 juta tontonan tanda pagar PBAKL di media sosial membuktikan kesetiaan Keluarga Malaysia kepada penganjuran pesta buku ini.\nPencapaian tersebut membuktikan bahawa Keluarga Malaysia sememangnya amat menyokong usaha membijaksanakan bangsa, khususnya daripada amalan budaya membaca dan mencintai buku. Beliau berharap agar usaha mengekalkan budaya membaca serta cintakan buku ini akan dapat direalisasikan oleh seluruh Keluarga Malaysia tanpa mengira masa.\nMajlis penyampaian hadiah reruai terbaik daripada enam kategori yang dipertandingkan oleh penganjur disampaikan oleh Tan Sri Noh Haji Omar. Turut menyerikan acara ialah Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Datin Paduka Mastura Haji Mohamad, wakil Negeri Tamu Selangor Darul Ehsan." "13.6 Juta Tontonan #PBAKL\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebanyak 13.6 juta tontonan tanda pagar PBAKL di media sosial membuktikan kesetiaan Keluarga Malaysia kepada penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PABKL) 2022 (3\u201312 Jun 2022) yang dikendalikan oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM).\nPencapaian tersebut dilihat sebagai langkah permulaan untuk memulihkan kembali industri perbukuan negara sepenuhnya yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Sebanyak 1 363 757 orang pengunjung direkodkan selama 10 hari PABKL 2022 berbanding dengan hanya 670 000 orang pengunjung pada tahun 2019. Jumlah tersebut melebihi sasaran penganjur yang menjangka hanya mencapai 900 000 ribu orang." "Alibaba Lancar Edisi Baharu Program Latihan Netpreneur di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Alibaba Global Initiatives (AGI), iaitu sayap latihan profesional Kumpulan Alibaba akan melancarkan edisi baharu program Alibaba Latihan Netpreneur di Malaysia dengan sokongan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE). Program yang dianjurkan selama empat minggu akan merangkumi pelbagai kuliah dalam talian bagi memperkasakan usahawan tempatan merentas pelbagai sektor dalam memanfaatkan teknologi digital untuk mengembangkan perniagaan mereka dalam ekonomi tempatan.\nDijadualkan berlangsung mulai 12 Julai hingga 16 Ogos 2022, edisi terkini Alibaba Latihan Netpreneur meneruskan usaha-usaha AGI untuk memperlengkap usahawan dan pemimpin perniagaan dengan langkah-langkah yang ketara dan boleh laksana yang dapat diambil oleh mereka untuk mencapai kemajuan dalam ekonomi digital. AGI telah melatih 317 orang usahawan di Malaysia menerusi program ini sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2019.\nKurikulum pada tahun ini akan menawarkan tumpuan yang lebih khusus pada trend perdagangan dalam talian pascapandemik seperti beli-belah rentas sempadan dan pembangunan ekonomi digital lain, untuk disejajarkan dengan fokus perniagaan yang semakin meningkat terhadap e-dagang serta keperluan perniagaan untuk menavigasi landskap yang semakin berubah ini.\n\u201cDengan peralihan syarikat kepada saluran dalam talian untuk memastikan perniagaan terus berjalan ketika pandemik, pendigitalan bukan lagi merupakan konsep asing kepada usahawan. Peringkat seterusnya adalah tentang bagaimana menukarkan kemajuan digital menjadi kelebihan terbesar kita untuk masa hadapan. Kami berharap edisi ditambah baik Alibaba Latihan Netpreneur ini akan membantu usahawan di Malaysia membangunkan strategi digital jangka panjang dan lebih bijak yang akan membuka lebih banyak peluang e-dagang untuk mereka,\u201d kata Dan Liu, Penasihat Kanan di Alibaba Global Initiatives.\n\u201cMDEC menyambut baik inisiatif ini kerana ia akan menjadi nadi kepada perniagaan untuk kekal berdaya tahan pada masa depan, memandangkan kita sedang melangkah ke fasa endemik. Perkembangan pesat pendigitalan dan akses digital telah membuka lebih banyak peluang baharu seperti perdagangan rentas sempadan. Sebagai agensi peneraju ekonomi digital Malaysia, kami akan terus memacu ekosistem perdagangan digital dengan pelbagai program intervensi melalui inisiatif Malaysia Digital. Kerjasama yang efektif dengan syarikat teknologi global seperti Alibaba ialah satu pencapaian yang amat penting dan kami akan mewujudkan lebih banyak kerjasama seperti ini pada masa depan,\u201d kata Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Ts. Mahadhir Aziz." "Bank Dunia Kekalkan Unjuran Pertumbuhan Ekonomi Malaysia pada 5.5%\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Pensijilan Halal Membuktikan Komitmen Jenama Coway\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sejajar dengan misinya untuk menjadi Syarikat Best Life Solution, Coway Malaysia berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan pengalaman yang bermakna dan bermanfaat melalui semua produk Coway \u2013 termasuk memenuhi keperluan 65% pengguna Muslim mereka. Coway Malaysia telah menjadikan keutamaan dan misi utama mereka untuk memenuhi keperluan pengguna Muslim mereka dengan menyediakan produk yang disahkan Halal.\n\u00a0\nSehubungan itu, Coway memulakan proses memohon Pensijilan Halal pada tahun 2010 daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan tidak lama kemudian menjadi jenama penulen air antarabangsa pertama menerima Pensijilan Halal. Komitment Coway Malaysia ini, membukitkan Coway akan terus berkhidmat kepada para pelanggan setia dengan menawarkan hanya produk berkualiti tinggi yang boleh dipercayai. Coway juga berharap Pensijilan Halal bagi semua bahagian produk termasuk penapisnya dapat memastikan pelanggan Muslimnya mendapat ketenangan fikiran dan meyakini produk Coway.\n\u201cPensijilan Halal JAKIM memberikan jaminan tambahan kepada semua pengguna Muslim kami bahawa Coway menghasilkan hanya produk berkualiti tinggi dan boleh dipercayai. Pensijilan ini juga menunjukkan keikhlasan kami dalam usaha memenuhi keperluan mereka dan merupakan tanda penghargaan kami kepada pelanggan setia kami. Kami berharap pencapaian ini akan memberikan lebih ramai orang keyakinan dan kepercayaan terhadap Coway Malaysia, yang sentiasa berusaha menyediakan peralatan rumah terbaik bagi seisi keluarga,\u201d kata Kyle Choi, Pengarah Urusan Coway Malaysia.\nBeliau menambah bahawa perjalanan Coway Malaysia untuk mendapatkan Pensijilan Halal bukanlah mudah tetapi berbaloi. Ternyata proses mendapatkan kelulusan JAKIM begitu panjang dan mencabar, kerana setiap bahagian rangkaian produk Coway seharusnya memenuhi piawaian dan mematuhi peraturan ketat JAKIM. JAKIM turut mengunjungi ibu pejabat Coway di Korea Selatan untuk memastikan segala operasi mematuhi piawaian.\nUntuk mengurus dan menyelia proses permohonan yang rumit ini, Coway Malaysia menubuhkan sebuah Jawatankuasa Halal dalaman yang terdiri daripada para pakar yang ditugaskan untuk menangani semua perkara yang berkaitan dengan Halal. Jawatankuasa tersebut ditugaskan untuk mengendalikan segala aspek yang berkaitan dengan pemilihan bahan, pembelian alat ganti, pembuatan, penyimpanan, dan sebagainya. Susulan itu, sebuah Sistem Pengurusan Jaminan Halal (HAS) turut diperkenalkan bagi memastikan piawaian Halal JAKIM.\n\u201cKami amat berbangga dengan pencapaian ini dan\u00a0 membuat keputusan untuk mendapatkan pensijilan Halal bagi produk kami yang hakikatnya bukan sahaja menunjukkan komitmen kami kepada pengguna Muslim, tetapi juga memberikan jaminan kepada pengguna masa depan tentang kredibiliti produk kami. Sebagai Syarikat Best Life Solution, kami akan terus berusaha berkhidmat kepada pelanggan setia kami dengan menyediakan produk berkualiti yang mematuhi keperluan halal JAKIM,\u201d katanya.\nChoi menambah bahawa mendapatkan pensijilan Halal ternyata satu pencapaian yang bermakna bagi Coway kerana Coway juga dianugerahkan Sistem Penapisan Air Terbaik oleh Anugerah Jenama Halal Asia secara konsisten sejak tahun 2017. Kini, pensijilan Halal akan membantu mengukuhkan jenama Coway di dalam negara dan di pentas antarabangsa. Tambahan lagi, sejak tahun 2015, penulen air Coway yang canggih juga memenangi pelbagai Anugerah Jenama Dipercayai di Malaysia dan diiktiraf oleh Persatuan Kualiti Air (WQA).\nHingga kini, Jawatankuasa Halal Coway masih menjalankan tugasnya untuk menilai dan menguruskan operasi bagi memastikan piawaian Halal JAKIM dipenuhi dan dipatuhi. Coway Malaysia juga mengenal pasti Titik Kawalan Halal (HCP) untuk menjamin tiada potensi pencemaran silang dengan sebarang unsur tidak halal sepanjang aliran proses pembuatan. Langkah kawalan dilaksanakan di titik-titik HCP yang dikenal pasti dalam usaha\u00a0 mengetepikan sebarang ketidakpatuhan terhadap keperluan syariah dan pelaksanaan HAS.\nHCP dikenal pasti sepanjang keseluruhan proses, bermula dari peringkat perolehan hingga penghantaran produk. Pada peringkat perolehan, Coway Malaysia mengenal pasti senarai bahan mentah dan pembekal sah Halal yang diluluskan. Semasa pemprosesan, syarikat mematuhi sepenuhnya langkah kawalan Halal semasa pengeluaran penapis air, penulenan air dan aksesori lain.\nSemua peralatan yang digunakan semasa proses pengeluaran akan dipantau rapi bagi menjamin\u00a0 peralatan ini bebas daripada unsur yang tidak menepati piawaian JAKIM. Para pekerja juga telah dilatih dalam semua aspek berkaitan Halal, termasuklah pelaksanaan HAS. Selepas proses pengeluaran selesai, Pengurus Kawalan Logistik Coway Malaysia akan memastikan semua penulen air dengan Pensijilan Halal disimpan di gudang yang diluluskan untuk menjalani proses Jaminan Kualiti Produk dan Kawalan Kualiti. Langkah ini merupakan semakan terakhir untuk memastikan semua syarat-syarat halal dipenuhi dan dipatuhi sebelum penghantaran keluar produk ke gudang-gudang di Malaysia.\nUntuk maklumat lanjut mengenai Pensijilan Halal Coway, sila layari\u00a0 www.coway.com.my" "Peti Gergasi Buku Bukti Keprihatinan Keluarga Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSelama 10 hari seluruh Keluarga Malaysia memberikan tumpuan cukup bertenaga kepada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 (PABKL) yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (3 \u2013 12 Jun 2022). Pastinya PBAKL 2022 yang cemerlang itu akan terus dikenang sebagai momen yang membangkitkan kembali semangat dan keazaman pencinta buku serta pemain industri perbukuan negara, khususnya kepada sejumlah 167 buah syarikat pempamer dan 709 buah reruai.\nKejayaan PABKL 2022 membuktikan bahawa lonjakan ekonomi industri buku tempatan sedang berlaku yang sebelum ini agak perlahan kerana dilanda pandemik COVID-19 dalam tempoh dua tahun yang lalu. Kini, industri perbukuan bagaikan mendapat vaksin dan dos penggalak dan berada pada tahap yang meyakinkan apatah lagi setelah mendapat jaminan daripada Yang Berhormat Tan Sri Noh Haji Omar, Menteri Usahawan dan Koperasi yang tidak akan mengabaikan penggiat dan pemain industri yang menjanakan kebijaksanaan bangsa.\nBudaya cinta akan buku dan amalan membaca tetap subur dalam kalangan Keluarga Malaysia apabila jualan dan strategi secara dalam talian, khususnya melalui portal buku dan media sosial, khususnya Facebook dan Instagram terus memberangsangkan.\nRindu dendam pencinta buku akhirnya terlerai apabila dilaporkan pengunjung yang hadir ke PBAKL 2022 melebihi 1.3 juta orang pengunjung. Strategi pemasaran dan promosi yang berkesan menerusi pelantar digital dan media sosial\u00a0 memberikan impak kepada jualan semua syarikat buku yang terlibat. Apatah lagi buat pertama kalinya pesta buku secara hibrid itu membudaya secara teguh dalam kalangan Keluarga Malaysia. Tidak hanya di Kuala Lumpur, tetapi peminat dan pencinta buku di seluruh negara juga menelusuri kempen pesta raya buku ini secara giat menerusi tanda pagar PBAKL yang mencapai sebanyak 13.6 juta tontonan di media sosial.\nYang menariknya, pengunjung sentiasa mengutamakan keselamatan, khususnya barangan peribadi dan kanak-kanak. Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan sepanjang berada dalam pesta raya buku ini. Oleh sebab penganjuran PBAKL tidak dapat diadakan dalam tempoh dua tahun ini akibat krisis pandemik COVID-19, maka penganjur mengumumkan\u00a0 PBAKL 2022 mempunyai tarikan baharu yang unik, iaitu Peti Gergasi Sumbangan Buku.\n\nPeti Gergasi Sumbangan Buku yang diletakkan di Aras 2 berdekatan dengan pentas utama berhampiran kaunter urus setia PBAKL itu merupakan hasil cetusan idea\u00a0 pengikut Facebook penganjur. Cadangan\u00a0 Peti Gergasi Sumbangan Buku datangnya daripada pemilik akaun Facebook Rabiah Adawyah atau nama sebenarnya, Rabi\u2019ahtuladawyah Md. Saleh.\nRabi\u2019ahtuladawyah merupakan Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur amat gembira kerana cadangannya direalisasikan. Peti buku itu berjaya mengumpulkan koleksi buku daripada orang ramai sejak\u00a0 dilancarkan pada 7 Jun 2022. Buku yang disumbangkan oleh pengunjung PBAKL 2022 itu akan diagihkan kepada perpustakaan sekolah dan desa.\nMenurut Rabi\u2019ahtuladawyah, idea dan simbolik Peti Gergasi Sumbangan Buku tercetus apabila mengimbau sejarah khazanah ilmu Alam Melayu. Ribuan manuskrip Alam Melayu dibawa\u00a0 ke luar negara oleh penjajah seperti Portugis dan Belanda. Oleh hal yang demikian, Peti Gergasi Sumbangan Buku PBAKL 2022, diharapkan dapat mengumpulkan dan menyimpan khazanah buku daripada rakyat kepada rakyat.\nPeti Gergasi Sumbangan Bukuini kekal menjadi lambang keprihatinan Keluarga Malaysia terhadap buku dan amalan membaca.\nSyabas Malaysia!" "Keunikan Bahasa Melayu Chetti Melaka\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2212 Masyarakat Chetti dikatakan bermula ketika Melaka menjadi pusat perdagangan yang dibanjiri oleh para pedagang termasuklah pedagang dari India. Masyarakat ini mempunyai ciri tersendiri dan ada dalam kalangan mereka berkahwin dengan wanita tempatan. Mereka beragama Hindu seperti masyarakat India yang lain tetapi menggunakan bahasa Melayu Chetti.\nBahasa Melayu Chetti terbentuk hasil daripada pertuturan pedagang semasa urusan perdagangan di pelabuhan Melaka. Bahasa ini asalnya dikenali sebagai bahasa pasar atau bazar Malay dan selepas itu berkembang terutama selepas perkahwinan para pedagang dengan wanita tempatan. Kemudian, bahasa ini diangkat menjadi bahasa pijin dan menjadi bahasa asas yang digunakan dalam kehidupan seharian dan akhirnya menjadi bahasa ibunda bagi anak-anak kaum Chetti Melaka.\nBahasa Melayu Chetti merupakan bahasa yang \u00a0amat menarik kerana bahasa ini mempunyai asas bahasa Melayu dan kata-kata pinjaman daripada bahasa Tamil. Bahasa ini banyak digunakan dalam upacara keagamaan seperti perkataan \u201camah\u201c, yang merujuk Tuhan, \u201ctali\u201c yang merujuk rantai perkahwinan dan \u201cmalei\u201c yang merujuk kalungan bunga malai.\nSebutan perkataan ini sedikit berbeza daripada sebutan orang Tamil kerana dipengaruhi oleh bahasa asal atau bahasa ibunda mereka, iaitu bahasa Chetti Melaka. Contohnya, \u201ccangkir\u201c merujuk piring, \u201ciniari\u201c merujuk hari ini, \u201ctak lagi\u201c merujuk tidak lagi, \u201canak jantan\u201c merujuk anak lelaki, \u201ctaruk\u201c merujuk letak dan \u201cbilang\u201c merujuk\u00a0beritahu.\nMereka juga meminjam perkataan daripada kaum Cina Peranakan seperti perkataan \u201climpo\u201c untuk sapu tangan dan \u201ckemantin\u201c untuk pengantin. Ada juga perkataan yang dipinjam daripada kaum Kristang Melaka seperti perkataan \u201cmenjela\u201c, yang bermaksud jendela, yang menjadi sebahagian daripada kamus bahasa Chetti.\nDemikianlah antara penerangan yang diberikan oleh Dr. Nurul Huda Hamzah, Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Linguistik dari Universiti Malaya. Beliau membicarakan tentang bahasa Melayu Chetti sewaktu menjadi tetamu undangan dalam Rancangan Bahasa dan Budaya Kaum Chetti Melaka: Catatan dari Celah \u201cMenjela\u201c Kampung Chetti, Melaka, yang berlangsung pada hari ini. Yang turut diundang ialah\u00a0Puan Roziah Md Yunos, Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, yang turut berkongsi ilmu tentang bahasa Melayu Chetti di Malaysia." "Sayembara Hebat Berucap Bina Keterampilan Pelajar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUCHING \u2013 Persatuan Prihatin Pembangunan Insan Kuching mengadakan Sayembara Hebat Berucap di Bilik Kuliah, Masjid Darul Ibadah, Kampung Semariang Lama, bagi memartabatkan bahasa kebangsaan baru-baru ini.\nSayembara yang berlangsung selama tiga jam ini bertujuan untuk menggalakkan pelajar berucap dalam bahasa kebangsaan. Selain memperteguh rasa jati diri menerusi penggunaan bahasa kebangsaan, pada masa yang sama sayembara ini juga dapat meningkatkan kemahiran dan keterampilan pelajar yang pada akhirnya akan membentuk pesona\u00a0 pemimpin generasi baharu yang berwibawa dalam pengucapan awam.\nDalam pertandingan tersebut, aspek yang ditekankan termasuklah penggunaan bahasa yang tepat dan betul serta baku tanpa memasukkan bahasa rojak atau slanga. Diksi yang dipilih hendaklah diucap dengan lancar dan jelas, serta pelajar digalakkan untuk membina ayat yang gramatis.\nAspek lain yang turut diberikan penilaian termasuklah isi, keyakinan diri dan persembahan. Siri sayembara seumpama ini dijangkakan akan diadakan di beberapa buah sekolah dan pusat tahfiz di sekitar Kuching dan Miri hingga Oktober nanti.\n\u00a0\nDalam Sayembara Hebat Berucap ini, Carlos Dexter Anak Tangga muncul sebagai juara pertandingan, naib juara pula disandang oleh Danish Iqram Sulaiman dan tempat ketiga dimenangi oleh Alex Entigar Anak Agak. Ketiga-tiga pemenang merupakan pelajar dari SMK Green Road, Kuching." "Kemelut Kemiskinan pada Usia Tua\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSatu daripada cabaran negara dalam mendepani situasi penuaan penduduk ialah keselamatan pendapatan. Statistik menunjukkan bahawa hanya 14.1% daripada warga tua mempunyai pendapatan persaraan, yang sebahagian besarnya merupakan pesara kerajaan. Hal ini bermakna majoriti warga tua di Malaysia tidak mempunyai pendapatan terjamin.\nRisiko kemiskinan pada usia tua didorong oleh faktor kurangnya kesedaran dan pengetahuan tentang perancangan kewangan. Perkara ini tidak mustahil menjadi lebih kritikal dengan trend kepenggunaan yang ketara. Pada masa ini, kemahuan berlebihan mengatasi keperluan yang dipamerkan melalui pelbagai saluran media sosial.\nBukan itu sahaja, pandemik Covid-19 juga menjadikan situasi lebih mencabar. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memaklumkan bahawa peratusan ahli KWSP yang mempunyai tahap simpanan rendah kritikal meningkat sebanyak 48% selepas tempoh pandemik COVID-19, berbanding \u00a0dengan hanya 28% sebelumnya.\nSiri pengeluaran khas KWSP sepanjang tempoh pandemik menyaksikan pengeluaran pramatang oleh pencarum KWSP yang lebih daripada RM100 bilion. Dilema antara tuntutan kelangsungan hidup dengan keselamatan pendapatan pada usia tua tidak mudah dirungkaikan bagi golongan yang benar-benar tersepit dengan kerencatan ekonomi. Namun, yang dikesalkan adalah apabila golongan tidak terjejas turut sama membuat pengeluaran tanpa percaturan kewangan yang rapi.\nKWSP menyasarkan aras simpanan minimum umur 55 tahun sebanyak RM240 000.00 bagi menampung perbelanjaan keperluan asas selama tempoh 20 tahun seterusnya. Berdasarkan statistik yang menunjukkan bahawa sebanyak 6.1 juta orang pencarum KWSP kini mempunyai kurang daripada RM10 000.00, hal ini menguatkan lagi petanda kemelut kemiskinan pada usia tua.\nDasar Warga Emas Negara menggariskan kesejahteraan warga emas dalam lima dimensi, iaitu penuaan sihat; penuaan positif; penuaan aktif; penuaan produktif, dan penuaan menyokong.\u00a0 Sebelum ini, isu penuaan penduduk dari segi ekonomi dihuraikan dalam perbincangan penuaan produktif. Walau bagaimanapun, perbincangan tersebut lebih memfokuskan kaedah warga emas boleh terus terlibat dalam aktiviti kerja \u2013 sama ada bergaji ataupun sukarela agar kehidupan dirasai lebih bermakna.\nBerdasarkan perkembangan terkini, aspek kemiskinan pada usia tua seharusnya turut diberi keutamaan. Kos sara hidup yang semakin meningkat jelas tidak mampu ditanggung dengan simpanan persaraan yang semakin mengecil. Hal ini belum termasuk kos rawatan kesihatan dan penjagaan jangka panjang yang pastinya menuntut perbelanjaan yang besar ekoran penurunan tahap kesihatan warga emas secara lazimnya.\nSelain itu, kitaran ekonomi global dilihat bakal mengalami beberapa perubahan. Sebagai contohnya, krisis ekonomi yang sebelum ini dianggarkan secara kasar berlaku setiap 10 tahun, kini dijangka akan berlaku dalam tempoh kitaran masa yang lebih singkat daripada itu. Malahan, terdapat beberapa buah agensi yang meramalkan akan berlaku beberapa siri krisis kesihatan dalam jangka hayat ini. Jika dan apabila krisis ini berlaku lagi, adakah kita bersedia dari segi kewangan dan ekonomi? Adakah kita akan terus bergantung harap pada simpanan persaraan yang mungkin masih belum sempat ditebus lagi ekoran pengeluaran berkali-kali sepanjang pandemik lalu?\nDari lensa makro, tidak dinafikan bahawa kerajaan harus memikul tanggungjawab menangani cabaran penuaan penduduk, termasuklah isu kemiskinan pada usia tua. Penyelesaian bersepadu harus difikirkan bagi memastikan jaringan keselamatan yang berkesan kepadaa rakyat. Walau bagaimanapun, setiap individu harus menggalas tanggungjawab yang sama agar kesejahteraan hidup dapat diteruskan sepanjang meniti usia tua.\nMengambil kira perkembangan terkini, adalah wajar kita membuat perancangan \u00a0kewangan yang lebih teliti sekarang agar kita lebih bersedia menghadapi usia tua dengan tenang. Hanya dengan kerjasama dan sokongan padu antara individu dengan kerajaan dapat kita bersama-sama mengelak daripada berdepan dengan kemelut kemiskinan pada usia tua. Seperti pepatah Melayu, \u201cSediakan payung sebelum hujan; ingat sebelum kena, jimat sebelum habis\u201d.\n\u00a0\nDr. Nurul Afidah Mohamad Yusof ialah Penolong Profesor di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Kewangan, Universiti Tunku Abdul Rahman." "Maxis Membentuk Perikatan 5G Terbesar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAhli tersebut antaranya termasuklah Advantech, Amdocs, CrescoNet (dahulunya syarikat kumpulan Intellihub), Cisco, Google Cloud, GSMA (Komuniti Industry 5G APAC), Huawei, LLVision, Microsoft, MIMOS, Motorola Solutions, NEC, Omron, Realwear, SAS, dan Vodafone. Perikatan ini bakal mencipta, mengkomersialkan, menskalakan kes penggunaan 5G dan penyelesaian inovatif rentas industri untuk memacu transformasi digital serta inovasi" "Rizab Persekutuan Amerika Syarikat Naikkan Kadar Faedah 0.75%\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHal ini bermakna kadar faedah negara itu kini berada pada sekitar 1.5% hingga 1.75% bagi pinjaman pengguna dan perniagaan. Penganalisis sebelum ini memberikan pandangan bercampur-campur tentang kenaikan kadar faedah antaranya jangkaan peningkatan sebanyak 0.50 mata asas. Namun angka inflasi pada kadar sebanyak 8.6% yang dikeluarkan Jumaat memberikan suntikan baharu kepada Rizab Persekutuan AS untuk meningkatkan kepada kadar faedah lebih agresif." "Harga Ayam Dijangka Naik Bulan Depan Apabila Harga Diapungkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Petronas Penuhi Permintaan Tenaga Bersih Global Melalui Gentari\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Petronas memperkenalkan Gentari Sdn Bhd (Gentari) bagi mempercepatkan penerimagunaan dan pengkomersilan tenaga bersih. Entiti baharu itu berhasrat menyediakan satu rangkaian penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, hidrogen dan mobiliti hijau yang selamat, bertanggungjawab, kos teroptimum serta pengurangan pelepasan karbon berasaskan pendekatan bersepadu merentasi rantaian nilai tenaga bersih untuk pelanggan global.\nPengerusi Gentari, Datuk Tengku Muhammad Taufik menyatakan bahawa Gentari akan menawarkan penyelesaian tenaga yang lebih bersih untuk memenuhi keperluan tenaga dan aspirasi karbon rendah Malaysia serta pelanggannya di dalam negara dan di luar negara. Pihaknya berhasrat untuk merebut peluang dalam pasaran tenaga karbon rendah dengan menawarkan penyelesaian dan sistem pada harga berpatutan serta mudah diakses dengan membolehkan skala pengeluaran dan memudahkan kebolehsediaan infrastruktur.\nKebebasan diberi kepada Gentari untuk menumpukan kepada penyediaan penyelesaian tenaga bersih secara berinovasi sambil mencari peluang pendanaan bagi mempercepatkan perkembangan perniagaan di dalam usaha memenuhi permintaan sedia ada dan meneroka teknologi tenaga yang baharu.\nGentari komited untuk memudahkan lagi pelaksanaan proses sifar bersih untuk para pelanggan sambil membangunkan pasaran tenaga bersih secara keseluruhan dengan melabur dan sentiasa berinovasi bersama rakan niaga untuk mencapai hasil yang lebih memberangsangkan dengan penyelesaian sedia ada dalam portfolionya." "TNB Bangunkan Projek Perkukuh Bekalan Elektrik di Pulau Pinang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Ekonomi Malaysia Catat Prestasi Baik Meskipun Ketidaktentuan Ekonomi Global\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cMalaysia mencatatkan prestasi yang agak baik, walaupun dengan impak pandemik yang dijejaskan lagi dengan perang di Ukraine, sekatan pergerakan di China, kenaikan kadar faedah dan kebimbangan mengenai stagflasi memandangkan kita sedang diselubungi dengan ketidaktentuan ekonomi.\u201c \nBeliau turut menegaskan bahawa perbelanjaan pengguna menjadi semakin baik dan penciptaan pekerjaan yang pulih beransur-ansur. Selain itu, perniagaan di Malaysia meraih peningkatan jualan secara beransur-ansur kepada tahap seperti sebelum COVID-19 berikutan bantuan kerajaan semasa pandemik." "Pendapatan Pelaburan KWSP RM15.85 Bilion Suku Pertama 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Kenangan Safee Sali dan Harimau Malaya Melalui \u201cSEPULUH\u201c NFT\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Legenda bola sepak Malaysia Safee Sali dengan kerjasama Prime Sports NFT; bahagian sukan NFT di bawah Prime Sports International (PSI) pada hari ini\u00a0 mengumumkan pelancaran \u201cSEPULUH\u201c NFT (Non-fungible token), 10 koleksi digital yang akan dilelong bermula pada 22 Jun 2022 melalui pasaran NFT digital, Opensea.\u00a0Peminat akan berpeluang membida untuk menjadi pemilik eksklusif 10 NFT terhad dan berpeluang berkongsi padang dengan Safee, akan mendapat cetakan berbingkai NFT dan akses kepada komuniti peribadi untuk ahlinya.\nMelalui perkongsian visi yang sama, Safee Sali bekerjasama dengan Prime Sports NFT untuk meningkatkan penglibatan dan interaksi bersama-sama peminat-peminatnya. Selain\u00a0 itu, projek NFT itu membawa kepada kerjasama dengan artis tempatan, Nicholas Chuan bagi membentuk koleksi Safee. Berasal dari Pulau Pinang, artis yang berusia 20 tahun itu membawa portfolio ilustrasi untuk organisasi terkenal dunia seperti UEFA, Red Bull Racing Formula 1, Liverpool FC, dan FC Bayern.\nInspirasi di sebalik \u201cSEPULUH\u201c berasaskan pencapaian kegemilangan Safee Sali ketika Piala AFF Suzuki pada tahun 2010, dan\u00a0 kejayaannya memperoleh Kasut Emas, iaitu sebagai penjaring terbanyak dalam pertandingan pada tahun itu. Ilustrasi NFT tersebut menggunakan gambaran ikonik yang masih kekal sebagai satu pencapaian terbesarnya di pentas antarabangsa untuk Malaysia. \u201cVisi saya untuk \u2018SEPULUH\u2019 adalah untuk mengenang kenangan terindah saya memakai jersi Harimau Malaya melalui seni digital dan membolehkan peminat memiliki sekeping cerita saya sebagai koleksi. Peminat saya\u00a0 memberikan sokongan sepanjang kerjaya saya dan \u201cSEPULUH NFT\u201c membuka pintu untuk mengeratkan hubungan saya bersama-sama mereka,\u201d kata Safee Sali.\nPelancaran \u201cSEPULUH\u201c NFT juga merupakan projek sulung dan cetusan idea Prime Sports NFT, pelopor dalam industri yang bertujuan menyilangkan dunia sukan, seni dan budaya. Bekerja secara kolaboratif dengan pelbagai atlet, artis dan rakan kongsi di rantau ini, Prime Sports NFT memainkan peranan penting dalam strategi, idea dan memupuk proses kreatif dalam pelancaran projek tersebut bersama-sama Safee. Selain itu, projek \u2018SEPULUH\u2019 NFT ini juga dalam perkongsian bersama-sama Professional Footballers Association of Malaysia\u00a0 (PFAM), dan sebahagian daripada hasil jualan NFT tersebut akan disalurkan kepada dana pembangunan pemain bola sepak profesional di Malaysia.\nPengasas Prime Sports NFT, Yong-Chul Yun berkata \u201cSecara global, aset digital semakin membesar dan disokong tinggi dalam dunia sukan dan dengan ini kami berharap dapat mengubah cara peminat berinteraksi dengan pasukan dan atlet kegemaran mereka. Dengan pelancaran \u201cSEPULUH\u201c NFT , kami teruja kerana dapat menjadi pemboleh inovasi tersebut. Peranan kami dalam menghubungkan Safee dengan artis berbakat seperti Nicholas, benar-benar memberi ganjaran dan sekarang kami sedang bekerja dengan lebih banyak atlet, artis dan organisasi di Malaysia,\u201c kata Yong-chul Yun.\nNicholas Chuan, merupakan artis di sebalik \u2018SEPULUH NFT\u2019 berkata, \u201cSaya berbesar hati kerana diberi peluang bekerja dengan wira negara seperti Safee dan merealisasikan visinya untuk aset digital koleksi ini. Bekerja secara kolaboratif dan kreatif dengan minda inovatif dalam bidang sukan sepertinya merupakan pengalaman yang saya tidak akan lupakan. Secara keseluruhannya, saya bersyukur bahawa karya saya diiktiraf dan saya teruja untuk melihat sesuatu yang akan disediakan untuk peminat dan pemilik\u00a0 \u2018SEPULUH\u2019.\u201c\nBermula dari 22 Jun 2022 pada pukul 12.00 tengah malam, \u201cSEPULUH\u201c NFT daripada Safee Sali akan disiarkan secara langsung untuk lelongan melalui Opensea. Peminat akan berpeluang membida bilangan terhad 10 NFT dalam koleksi hingga 11 Julai 2022, pada pukul 11.59 malam. Ditempa pada Blockchain Ethereum, NFT akan membuka pelbagai faedah untuk pemiliknya, termasuklah pengalaman yang eksklusif dan saluran komuniti persendirian bersama-sama Safee Sali." "MRCA Naikkan Kadar Pertumbuhan Industri Runcit Tahun 2022 kepada 13.1%\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Bahasa Nadi Pencitraan Negara dan Pendidikan Bangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Bahasa terhasil daripada akal dan pemikiran yang merupakan kuasa dalam menjanakan segala urusan dan pentadbiran manusia. Selain itu, bahasa bukan sahaja sebagai alat komunikasi, bahkan sebagai lambang identiti sesuatu bangsa. Sehubungan dengan itu, bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan dalam kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi serta dinamiknya cabaran dunia pendidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjayakan program bual bicara yang bertajuk \u201cKuasa Bahasa\u201d, menerusi slot Soal Rakyat, Saluran TV3 Media Prima. Slot ini menampilkan YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP.\nPerjuangan lidah rakyat serta api dari suatu zaman menjadi ungkapan yang cukup bermakna serta kerap meniti di bibir Ketua Pengarah DBP\u00a0itu yang mahukan\u00a0generasi pada hari ini memahami dan menghayati usaha mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang dilakukan dengan semangat serta matlamat yang jelas untuk membijaksanakan masyarakat.\nMenurutnya lagi, bahasa Melayu juga mestilah difahami konteks penggunaannya sebagai bahasa rasmi negara oleh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum\u00a0yang disatukan dengan semangat perpaduan melalui bahasa kebangsaan. Perkara yang amat penting difahami oleh segenap lapisan masyarakat negara ini atau kini disebut sebagai Keluarga Malaysia ialah bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikaikan fungsinya\u00a0dan peranannya sebagai kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.\nBeliau turut\u00a0menjelaskan tentang fungsi penubuhan DBP dan masyarakat digalakkan untuk menggunakan\u00a0bahasa kebangsaan yang betul secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang\u00a0berkuat\u00a0kuasa.\u00a0Sewajarnya tidak timbul lagi keraguan serta memandang ringan akan penggunaan bahasa kebangsaan dalam semua sektor khususnya sektor awam.\nPentadbir sektor awam perlu menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi termasuklah penggunaannya dalam mesyuarat, surat-menyurat jabatan, minit mesyuarat serta laporan dan penyediaan pelbagai dokumen yang berkaitan dengan urusan kerajaan yang seharusnya dilaksanakan secara menyeluruh. Keberkesanan bahasa Melayu dalam konteks rasmi sektor awam akan menjadi contoh kepada sektor lain di negara ini.\nBagi\u00a0tujuan tersebut serta\u00a0peruntukan yang ada pada DBP, kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi melaksanakan penggunaan bahasa kebangsaan di papan tanda perniagaan serta di papan iklan juga termeterai. Undang-undang yang berkuat kuasa di bawah PBT membolehkan mana-mana pihak yang tidak mematuhi peraturan penggunaan bahasa Melayu di tempat awam akan dikenakan tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan.\nDalam sektor ekonomi pula\u00a0telah membuktikan pengaruh besar\u00a0dengan penggunaan bahasa Melayu khususnya dalam strategi pemasaran dan pengiklanan produk yang dihasilkan. Walaupun DBP berdepan dengan pelbagai kerencaman penggunaan bahasa kebangsaan melalui sektor ini, masih belum terlambat untuk melihat bahasa Melayu terus diperkasakan. Bahasa Melayu bukan sahaja sebagai alat komunikasi dalam sektor ekonomi, bahkan dapat meningkatkan jualan dan produktiviti.\nSelain itu, kerjasama sektor awam dan sektor swasta dalam mendaulatkan bahasa kebangsaan juga mampu memberikan kuasa kepada bahasa kebangsaan negara ini setanding dengan bahasa dunia yang lainnya. Negara-negara dunia yang mengutamakan bahasa kebangsaan negara mereka dilihat boleh menjadi contoh kepada Malaysia bahawa bahasa kebangsaan negara ini berupaya menonjolkan citra negara Malaysia.\nBeliau turut menggesa agar para ilmuwan serta pakar bidang ilmu melaksanakan terjemahan buku serta hasil penulisan dalam bahasa Melayu agar dapat disebarluaskan kepada seluruh masyarakat. DBP akan merealisasikan penerbitan ini kerana buku yang berkaitan dengan ilmu khusus oleh pakar bidang ini amat diperlukan oleh masyarakat.\nKerancuan bahasa kebangsaan dalam masyarakat wujud kerana terhakisnya rasa bangga dalam diri setiap rakyat Malaysia. Tentang sikap anak-anak muda dalam penggunaan bahasa kebangsaan, saya melihat situasi ini bersifat sementara dan masih\u00a0banyak anak muda yang menghormati bahasa kebangsaan. Yang dibimbangkan adalah tentang penggunaan bahasa yang tidak konsisten akan mempengaruhi kanak-kanak dan remaja dalam penulisan mereka khususnya dalam peperiksaan.\nMelalui media sosial DBP pula, beliau turut memuji keprihatinan golongan muda serta pengikut yang meraikan perkongsian pantun, peribahasa dan simpulan bahasa serta lain-lain. Media sosial DBP menjadi lebih interaktif kerana peranan golongan muda yang menghargai serta menghormati bahasa kebangsaan. Generasi mudalah yang akan mewarisi perjuangan mendaulatkan dan memartabatkan bahasa kebangsaan.\nTambahnya lagi, pelbagai pihak turut menjayakan usaha pemartabatan bahasa kebangsaan yang antaranya termasuklah pelbagai media, ahli politik dan Raja-raja Melayu khususnya dalam kegiatan menjanakan intelektual institusi diraja di negara ini.\nPelibatan institusi diraja turut membuktikan sokongan terhadap usaha yang dilakukan oleh KPM melalui DBP seperti program wacana bersama-sama DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Syah (Sultan Perak), DYMM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizzuddin Putra Jamalullail dan YAM Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz (Tengku Temenggung Kelantan).\nSeiring dengan Revolusi Industri 4.0, DBP juga akan memfokuskan penerbitan digital khususnya e-pub, PDF dan penerbitan yang berbentuk interaktif. Portal Jendela DBP yang merupakan pelantar penerbitan digital DBP ialah satu daripada pencapaian DBP yang terpenting kini bagi memenuhi keperluan maklumat dan trend media digital masa kini dan masa hadapan." "Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia USD109.2 Bilion\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah USD109.2 bilion pada 15 Jun 2022. BNM menyatakan bahawa kedudukan rizab itu memadai untuk membiayai 5.5 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 1.1 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek.\nBNM turut memaklumkan bahawa emas, pertukaran asing dan rizab-rizab lain termasuk SDR berjumlah RM458.14 bilion manakala kertas kerajaan Malaysia RM12.59 bilion, deposit dengan institusi kewangan RM621.30 juta, pinjaman dan pendahuluan RM23.76 bilion, tanah dan bangunan RM4.14 bilion serta aset-aset lain RM21.68 bilion. Selain itu, modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar berjumlah RM100 juta, rizab (RM147.52 bilion), mata wang dalam edaran (RM159.84 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM158.43 bilion), deposit kerajaan Persekutuan (RM11.67 bilion), deposit lain (RM5.26 bilion), kertas Bank Negara (RM5.26 bilion), peruntukan SDR (RM28.12 bilion), dan liabiliti lain (RM4.41 bilion)." "Alibaba Catat Pertumbuhan Melalui Trend Baharu Beli-belah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHangzhou, Zhejiang, China\u00a0\u2013 Alibaba mencatatkan pertumbuhan dengan trend\u00a0 baharu semasa Pesta Beli-belah Pertengahan Tahun 6.18. Dari segi produk terkemuka, terdapat hampir 100 item dengan perolehan melebihi RMB100 juta, dengan hampir 2300 item dengan perolehan melebihi RMB10 juta, dan lebih 30 000 item dengan perolehan RMB1 juta.\nBeberapa trend penggunaan baharu muncul semasa Festival Beli-belah Pertengahan Tahun 6.18 yang memberikan peluang menarik untuk jenama dan peniaga di China dan luar negara. Beberapa trend baharu beli-belah muncul, antaranya termasuklah penjualan dan pembelian peralatan memancing dan perkhemahan; papan selaju di Tmall, produk penjagaan diri lelaki; peranti dan pakaian haiwan kesayangan; produk rentas kategori dan rentas senario, dan produk baharu untuk musim bunga dan musim panas.\nAktiviti memancing semakin popular dalam kalangan pengguna muda Cina sebagai hobi baharu. Dalam 12 bulan berakhir bulan Jun 2022, tiga juta orang pengguna (lahir selepas tahun 1995) membeli peralatan memancing di Taobao dan Tmall. Semasa tempoh daftar keluar pertama pada 6.18 tahun ini kempen (dari pukul 8.00 malam, 31 Mei hingga 3 Jun), jualan peralatan memancing meningkat hampir 50% dari tahun ke tahun, khususnya peralatan perkhemahan dan memancing mewah.\nJualan kategori papan selaju di Tmall meningkat sebanyak 290%. Kategori dandanan dan cukur lelaki melonjak lebih daripada 20 kali. Selain itu, penggayaan, primer dan bedak asas lelaki merupakan produk juga digemari oleh pengguna. Jualan pakaian perlindungan sinar ultra ungu lelaki meningkat dengan ketara, dengan bilangan urus niaga melonjak sebanyak 50%, menjadikannya item popular dalam kategori pakaian luar.\nPengguna milenium dan Gen-Z di China memastikan bahawa haiwan kesayangan mereka diberi makan dengan baik. Oleh itu, jualan peranti pintar untuk haiwan kesayangan, termasuklah robot pendamping, mangkuk pintar haiwan kesayangan dan kotak sampah pintar untuk kucing hampir 150%.\nJualan mainan pintar haiwan kesayangan meningkat hampir 130 kali ganda.\u00a0Pakaian musim panas kucing dan anjing meningkat sebanyak 40%. Jumlah carian untuk topi keledar haiwan kesayangan meningkat lebih daripada tiga kali ganda. Pengguna yang lebih muda juga melabur untuk rambut palsu, kot danstoking untuk haiwan kesayangan mereka dan menjaga kesihatan haiwan kesayangan mereka dengan pembelian makanan tambahan.\nProduk rentas kategori dan rentas senario menyaksikan rangkaian pembangunan produk Alibaba, bekerjasama dengan pelbagai peniaga untuk mencipta beberapa produk rentas kategori dan rentas senario, khusus untuk pasaran China. Peruncit kesihatan Cina Breo bekerjasama dengan Tmall Innovation Center (TMIC) untuk memanfaatkan pertumbuhan permintaan pengguna untuk peranti perlindungan mata" "\u201cSEPULUH\u201d NFT Inspirasi Kegemilangan Safee Sali dengan Harimau Malaya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nInspirasi di sebalik \u201cSEPULUH\u201d merupakan pencapaian kegemilangan Safee Sali ketika Piala AFF Suzuki pada tahun 2010, dan seterusnya memperoleh Kasut Emas bagi kejayaannya sebagai penjaring terbanyak pada tahun pertandingan tersebut. Ilustrasi NFT tersebut menggunakan gambaran ikonik yang masih kekal sebagai satu pencapaian terbesarnya di pentas antarabangsa untuk Malaysia.\n\u201cVisi saya untuk \u2018SEPULUH\u2019 bertujuan mengimbau kenangan terindah saya memakai jersi Harimau Malaya melalui seni digital dan membolehkan peminat memiliki sekeping cerita saya sebagai koleksi. Peminat saya\u00a0 memberikan sokongan sepanjang kerjaya saya dan \u2018SEPULUH\u2019 NFT membuka pintu untuk mengeratkan hubungan saya bersama-sama mereka\u201d kata Safee Sali.\nPelancaran \u201cSEPULUH\u201d NFT\u00a0 merupakan projek sulung dan cetusan idea Prime Sports NFT, pelopor dalam industri yang bertujuan menyilangkan dunia sukan, seni dan budaya. Bekerja secara kolaboratif dengan pelbagai atlet, artis dan rakan kongsi di rantau ini, Prime Sports NFT memainkan peranan penting dalam strategi, idea dan memupuk proses kreatif dalam pelancaran projek tersebut bersama-sama Safee. Selain itu, projek \u201cSEPULUH\u201d NFT ini juga dalam perkongsian bersama-sama Professional Footballers Association of Malaysia\u00a0 (PFAM), dan sebahagian daripada hasil jualan NFT tersebut akan disalurkan kepada dana pembangunan pemain bola sepak profesional di Malaysia." "Khind Perkenalkan Skim Sewa Milik Perkakas Rumah Pertama di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pengeluar perkakasan elektrik pengguna rumah tempatan KHIND, telah memperkenalkan skim sewa milik yang pertama serta usaha memudahkan rakyat Malaysia mendapatkan rangkaian produk mereka. Skim ini menyediakan penyelesaian mampu milik untuk mendapatkan peralatan rumah berkualiti yang boleh dipercayai dan bergaya di samping rakyat Malaysia masih terkesan dengan beban kewangan akibat pandemik.\nSkim sewa milik tersebut kini ditawarkan kepada penduduk di Lembah Klang dan akan meliputi kawasan lain di Malaysia pada masa depan. Skim ini membolehkan pelanggan membayar secara ansuran untuk produk idaman mereka menerusi pelan ansuran dan mereka dapat pemilikan penuh selepas habis pembayaran ansuran.\nKHIND sedar bahawa langkah memudahkan proses pembayaran menerusi ansuran akan membolehkan rakyat Malaysia mengekalkan gaya hidup mereka dengan menjadikan rangkaian produk mereka mampu milik. Sesungguhnya, KHIND berpegang pada etos untuk membolehkan pelanggan Experience More\u2019dan skim sewa milik ini membolehkan mereka berbuat demikian dengan cara yang tidak membebankan kewangan mereka.\n\u201cUsaha ini ternyata menandakan mercu jaya penting bagi kami di KHIND, dengan menawarkan rangkaian produk kami secara mampu milik oleh rakyat Malaysia. Usaha ini juga adalah sebahagian daripada misi kami untuk memudahkan segalanya bagi pengguna produk KHIND, yang menjadi tumpuan segala yang kami lakukan.\nKami ingin memberikan nilai terbaik untuk wang kepada pelanggan kami, tanpa menjejaskan kualiti, sambil mengikuti trend semasa. Dalam hal ini, kami berbangga dengan kisah kejayaan kami sebagai sebuah syarikat Malaysia yang memenuhi keperluan seluruh rakyat Malaysia sejak turun-temurun,\u201d kata Adil Jimmy Mistry, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KHIND Holdings Berhad.\nProduk yang paling mendapat sambutan ialah mesin basuh dan pengering KHIND, yang menjanjikan pengalaman mencuci baju yang menyenangkan dengan pelan ansuran sewa milik selama 36 bulan (RM99.00 sebulan), 24 bulan (RM139.00 sebulan) dan 12 bulan (RM259.00 sebulan), termasuklah penghantaran percuma, pemasangan dan tempoh percubaan 30 hari.\u00a0 Selepas tempoh pembayaran ansuran dipilih, pelanggan akan memiliki mesin basuh tersebut sepenuhnya, tanpa sebarang bayaran tambahan.\nPerkara yang lebih menarik ialah pelanggan yang mendaftar untuk pelan 36 bulan sebelum 30 Jun 2022 hanya perlu membayar sebanyak RM1.00 untuk bulan pertama, dengan bayaran ansuran bulanan sebanyak RM99.00 diteruskan mulai bulan kedua.\nBagi memastikan mesin beroperasi dengan kecekapan optimum, KHIND juga menawarkan pelan penjagaan tahunan percuma (bernilai RM400.00 setiap servis) sepanjang tempoh pembayaran, tanpa mengira pelan yang dipilih.\u00a0 Perkhidmatan ini tidak mengenakan sebarang kos tambahan, termasuklah pengarasan, pembersihan dan pembasmian kuman (tumbler) mesin, dan pembersihan pelbagai komponen termasuk injap salur masuk, penapis pam saliran keluar dan laci sabun pencuci." "FELCRA Perkasakan Santan Sawit \u201cSuri\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Subsidi Tahun 2022 Terbesar dalam Sejarah Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0 Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz memaklumkan bahawa unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan yang berjumlah RM77.3 bilion setakat ini bagi tahun 2022 merupakan jumlah subsidi tertinggi dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan.\nBeliau menambah unjuran subsidi kepenggunaan ini meliputi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) (RM37.3 bilion); minyak masak (RM4 bilion); tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, bil subsidi (RM9.7 bilion), tidak termasuk bantuan kebajikan lain.\nUnjuran subsidi untuk tahun 2022 itu jika harga bersubsidi serta harga pasaran minyak, arang batu dan komoditi lain kekal pada paras semasa.\u00a0\u201cApabila ditambah dengan bantuan-bantuan lain seperti Bantuan Kebajikan Masyarakat termasuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) (RM11.7 bilion) dan lain-lain subsidi (RM14.6 bilion). Jumlah keseluruhan subsidi setakat ini adalah sebanyak RM77.3 bilion bagi tahun 2022.\u201c\nBeliau turut menyatakan bahawa unjuran itu juga mengambil kira pengumuman kerajaan baru-baru ini mengenai bantuan tunai tambahan RM630 juta yang meningkatkan jumlah BKM Fasa 2 bagi golongan berpendapatan rendah kepada RM1.74 bilion mulai 27 Jun 2022.\nSelain itu, subsidi elektrik bernilai RM5.8 bilion untuk separuh tahun kedua bagi memastikan tiada kenaikan tarif elektrik mulai 1 Julai 2022 turut diambil kira. Kerajaan sentiasa peka terhadap kenaikan harga komoditi dan kadar inflasi ekoran gangguan kepada rantaian bekalan global dan konflik Ukraine-Rusia, yang telah mengakibatkan impak kenaikan harga barangan asas ke atas kebanyakan negara di seluruh dunia, termasuklah Malaysia.\nSubsidi kerajaan bertujuan menampung kos sara hidup rakyat. Menurut beliau,\u00a0 subsidi menyeluruh yang meliputi petrol, diesel, air, dan elektrik juga memberikan manfaat yang besar kepada golongan M40 dan T20.\n\u201cKementerian Kewangan akan terus memantau faktor luaran yang boleh memberikan impak negatif kepada situasi ekonomi domestik bagi memastikan kos sara hidup rakyat terkawal,\u201c ujar beliau." "Raja\u00a0Muda Perlis Rasmikan Al-Ikhsan Sports, Kangar Jaya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja\u00a0 Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan pembukaan kedai Al-Ikhsan Sports Warehouse Cawangan Kangar Jaya, Perlis. Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Vach Pillutla; Ketua Pegawai Operasi, Stephanie Tham dan Pengurus Pemasaran, Zechariah Ravin.\nAl-Ikhsan Sports Warehouse Cawangan Kangar Jaya merupakan cawangan ketiga syarikat yang beroperasi di Perlis selain di Kompleks Niaga PKENPs Kampung Bakau Kangar dan Kompleks Tok Arau.\nAl-Ikhsan Sports Sdn Bhd ialah penjual pelbagai barangan sukan nombor satu Malaysia seperti kasut sukan, pakaian dan peralatan. Al-Ikhsan Sports yang mula beroperasi sejak tahun 1993 memenangi pelbagai anugerah sepanjang penubuhannya, termasuklah Anugerah Cemerlang ASEAN 2011 dan Brand of The Year Award for Malaysia from World Branding Council United Kingdom 2019. Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd berkembang secara pesat dan kini, mempunyai lebih daripada 125 buah kedai yang terletak di seluruh Semenanjung Malaysia.\nDalam majlis tersebut Tuanku Raja Muda mengajak seluruh anggota masyarakat tanpa mengira usia dan jantina agar sentiasa mencari masa dan ruang untuk melibatkan diri dalam apa-apa jenis sukan yang diminati mengikut kemampuan masing-masing sama ada riadah ataupin kompetitif secara berterusan sepanjang tahun untuk menghasilkan budaya \u201cRakyat Perlis Hidup Sihat Melalui Bersukan dan Bersenam\u201d." "Pemberian Bantuan BKM Mencecah RM8.2 Bilion\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBeliau turut memaklumkan BKM Fasa 2 ditambah baik dengan bantuan tunai tambahan bernilai RM630 juta, menjadikan jumlah peruntukan keseluruhan BKM sebanyak RM8.2 bilion.\u00a0\u201cSebagai perbandingan, kadar maksimum BKM adalah RM2,600 berbanding BR1M (RM1,200) dan BSH (RM1,480), iaitu peningkatan bantuan sebanyak 120% sejak inisiatif bantuan tunai langsung mula diperkenalkan.\u00a0\u201cPeningkatan ini adalah kerana had kelayakan untuk menerima BKM telah dinaikkan daripada berpendapatan RM4000 ke bawah sebulan untuk BSH kepada RM5000 ke bawah sebulan untuk BKM.\u201c\u00a0Jumlah penerima BKM seramai 8.6 juta berbanding BSH hanya 4.5 juta penerima." "RM100 Juta untuk SPIM TEKUN\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0Kuala Lumpur \u2013\u00a0Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta bagi program Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.\nBeliau turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta bagi Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) di bawah SME Corporation Malaysia. \u201cSaya dimaklumkan SPIM di bawah TEKUN yang diperuntukkan oleh kerajaan sebanyak RM200 juta sebelum ini sudah habis dan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi BEEP untuk tahun 2022 juga habis.\n\u201cSPIM pinjaman yang popular untuk pembiayaan peniaga informal dan mikro untuk kepentingan usahawan kecil, saya umumkan peruntukan sebanyak RM100 juta lagi untuk SPIM. Saya umumkan juga peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta untuk BEEP.\u201c\nSelain itu, sektor perniagaan dijangka terus menyumbang ke arah usaha pemulihan ekonomi negara hasil pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan kerajaan. Menurut beliau pembangunan keusahawanan merupakan antara inti pati pelaburan terpenting bagi pembangunan sesebuah negara, selain menjadi teras penciptaan daya inovasi dan transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi. Sektor perniagaan, terutamanya PMKS kekal signifikan kepada pengembangan ekonomi negara walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran." "AI Tutor Jana Ekonomi Industri Kreatif Korea dan Asia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nProfesor Dr. Koh Young Hun dari Jabatan Melayu Indonesia (Pengajian Melayu-Indonesia), Pusat Pengajian Asing, Universiti Hankuk (Hankuk University of Foreign Studies) Seoul, Korea mengatakan bahawa kini pemerintah Korea\u00a0 memfokuskan dan menyokong sepenuhnya usaha memartabatkan pengajian bahasa asing.\nProfesor Dr. Koh\u00a0 menjelaskan bahawa beliau dan pasukannya dilibatkan oleh pemerintah Korea melalui kerjasama dengan Korea Advanced Institute of Science and Technology (KAIST) yang berpusat di Daedeok Innopolis, Daejeon di Korea Selatan untuk membangunkan sebuah perisian pembelajaran Bahasa Melayu. Beliau menjelaskan demikian dalam program bual bicara \u201cK- Pop Sebagai Produk Mempromosikan Bahasa Korea\u201d yang disiarkan melalui Facebook TV Al-Hijrah pada 28 Jun 2022.\nProjek pembinaan AI Tutor yang bernilai kira-kira USD1.5 juta ini dijangka selesai pada akhir tahun 2022. Apabila siap kelak, seseorang pelajar Bahasa Melayu/Bahasa Indonesia boleh mengajukan apa-apa pertanyaan berkaitan dengan Bahasa Melayu/Bahasa Indonesia melalui AI Tutor pada bila-bila masa dan akan memperoleh jawapan dengan segera.\nPembinaan perisian bagi memudahkan kaedah pembelajaran bahasa menurut beliau akan meningkatkan kecenderungan rakyat Korea mempelajari Bahasa Melayu. Pasukan beliau\u00a0 berbangga kerana pemerintah Korea memberikan perhatian utama kepada kemajuan pembelajaran Bahasa Melayu di negara tersebut.\n\u00a0\nMenurut Profesor Dr. Koh, industri K-Pop berjaya membangunkan dan meningkatkan pendapatan per kapita ekonomi Korea. Industri K-Pop terbukti menjanakan pendapatan bernilai berbillion-billion dolar Amerika setahun hasil garapan kreativiti penggiat industri seni mereka mempromosikan produk kebudayaan Korea menerusi drama, filem, lagu, permainan secara dalam talian, video muzik, dan sebagainya.\nDari aspek lain, usaha untuk menjadikan Korea pengeluar teknologi berkaitan dengan bahasa pula terus dipergiat. Penghasilan perisian canggih berkaitan dengan pengajian bahasa sudah tentu akan memberikan impak yang lebih besar kepada industri kreatif Korea, khususnya dalam menguasai pasaran industri kreatif Asia dan global." "Menyaring Erti daripada Realiti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSecara umumnya, masyarakat pada zaman dahulu terdedah pada pelbagai jenis haiwan, tanaman, alat pertukangan, jenis pakaian, masakan, adat resam, aktiviti sosial, kegiatan ekonomi, dan seumpamanya dalam kehidupan seharian mereka. Hal tersebut menawarkan variasi pengalaman hidup yang menjadi bahan renungan masyarakat. Dengan mata akal yang tajam dan jiwa yang sensitif, masyarakat zaman silam berupaya menyaring inti pati erti segala pengalaman hidup tersebut untuk membentuk Weltanschauung atau pandangan dunia masyarakat.\nPandangan dunia itu seterusnya diolah secara berseni dan kreatif oleh masyarakat untuk menghasilkan peribahasa yang pelbagai rupa. Dalam hal ini, yang menarik ialah meskipun masyarakat menghasilkan peribahasa berdasarkan pengalaman hidup yang berbeza-beza, ada kalanya peribahasa yang rencam itu menggambarkan celik akal pengertian hidup yang sama. Hal ini berlaku demikian mungkin disebabkan nilai dan sikap yang sama didukung bersama oleh masyarakat yang menetap di pelbagai lokasi dan melakukan kerja yang berbeza-beza pada zaman dahulu. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a. Air cucuran atap jatuhnya ke pelimbahan juga\n1b. Air di tulang bumbungan turunnya ke cucuran atap\n1c. Bapa borek anak rintik\n1d. Bagaimana acuan, begitulah kuihnya\n1e. Ke mana tumpah kuah, kalau tidak ke nasi\n\u00a0\nSemua peribahasa di atas menampilkan pelbagai fenomena hidup yang membawa maksud \u201canak menurut sifat ibu bapa\u201d. Peribahasa 1a dan 1b berkaitan dengan bentuk rumah, peribahasa 1c berkaitan dengan rumah tangga, peribahasa 1d berkaitan dengan kerja pembuatan kuih, dan peribahasa 1e berkaitan dengan hal masakan. Jika direnungi, terdapat proses atau unsur turutan yang logik dalam hal yang diperkatakan, seperti yang berikut:\n\u00a0\nPengertian yang didukung oleh kelompok peribahasa bahasa Melayu tersebut juga diungkapkan oleh peribahasa Inggeris seperti kill two birds with one stone (membunuh dua ekor burung dengan seketul batu). Hal ini menepati pandangan masyarakat Inggeris bahawa great minds think alike, iaitu orang yang bijaksana mempunyai arus aliran fikir yang serupa.\nJika masyarakat zaman dahulu ingin menyatakan maksud \u201csekali melakukan pekerjaan dua tiga maksud tercapai, mereka mungkin melafazkan peribahasa yang berikut:\n2a. Sambil menyelam minum air\n2b. Sambil berdendang biduk hilir.\n2c. Sekali merengkuh dayung, dua tiga pulau terlampau\n2d. Belayar sambil memapan\n2e. Seperti serampang dua mata\n2f. \u00a0Sambil berdiang, nasi masak\n\u00a0\nPeribahasa 2a, 2b, 2c dan 2d berkaitan dengan aktiviti di air, iaitu menyelam, belayar atau berkayuh. Peribahasa 2e berkaitan dengan alat atau senjata \u201cserampang\u201d, manakala peribahasa 2f berkaitan dengan kerja di dapur.\nBagi menggambarkan sikap orang yang tidak tetap pendirian dan mudah dipengaruhi oleh orang lain, terdapat kelompok peribahasa yang seerti, seperti yang berikut:\n3a. Ke mana angin yang deras, ke situ condongnya\n3b. Bagai pimping di lereng\n3g. Fahamnya bagai getah cair\n3h. Kuning oleh kunyit, hitam oleh arang\n3c. Bagai pancang digoncang arus\n3d. Baling-baling di atas bukit\n3e. Hati bagai baling-baling\n3f. \u00a0Seperti panji-panji, ditiup angin berkibar-kibaran\n\u00a0\nBagi menekankan pentingnya kita menjalankan sesuatu hal hingga berjaya, terdapat kelompok peribahasa yang berikut:\n4a. Alang-alang berminyak biar licin\n4b. Alang-alang mandi biar basah\n4c. Alang-alang berdakwat biar hitam\n4d. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan\n4e. Genggam bara api biar sampai menjadi arang\n4f. Berjalan sampai ke batas, belayar sampai ke pulau\n\u00a0\nBagi menyindir orang yang suka mencerca orang lain sedangkan diri sendiri pun ada kelemahan, dihasilkan sejumlah peribahasa seperti yang berikut:\n5a. Bintang di langit dapat dibilang tetapi tak sedar di mukanya arang\n5b. Kuman di seberang lautan tampak, gajah di pelupuk mata tiada tampak\n5c. Pacak mencerca biduk orang, biduk sendiri tak terkayuh\n5d. Mengata dulang paku serpih, mengata orang awak (aku) yang lebih\n5e. Jaras dikatakan raga jarang\n\u00a0\nJika seseorang orang terlalu ingin mengajar orang lain, sedangkan orang lain lebih pandai atau lebih hebat daripadanya, dihasilkan peribahasa seperti yang berikut:\n6a. Itik diajar berenang\n6b. Tak usah diajar anak buaya berenang, ia sudah pandai\n6c. Mengajar orang tua makan dadih\n6d. Orang tua diajar makan pisang\n6e. Mengunyahkan orang bergigi\n6f. Jangan diajar orang tua makan kerak\n\u00a0\nKebanyakan peribahasa bahasa Melayu mengingatkan kita agar sentiasa berwaspada agar hidup kita selamat di dunia akhirat. Sila lihat contoh yang berikut:\nNasib manusia tidak menentu\n\u00a0\nSifat penyabar dapat mengelakkan pertelingkahan\n\u00a0\nSetiap perbuatan ada akibatnya\n\u00a0\nUsaha kita tidak akan terus berjaya\n\u00a0\nKesilapan yang tidak dapat dibetulkan lagi\n\u00a0\nBerhati-hati dengan orang yang bermulut manis" "Raja Muda Perlis Lancarkan Ais Konfeksi Harumanis Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0Kuala Lumpur \u2013 Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan Ais Konfeksi Harumanis Perlis yang diadakan di Ben\u2019s Independent Grocer (B.I.G.) The Linc, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur yang dihasilkan oleh Sailor\u2019s Gourmet Foods (SGF).\nBerangkat sama ke acara berkenaan ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengurus Besar Sailors Gourmet Foods Andrew Tan Gim Lee dan Ivan Ooi.\n\nTurut hadir ialah Chief Merchandising Officer, The Food Purveyor Kok Kian Kee; Ketua Pegawai Operasi, The Food Purveyor, Eng Teck Leong dan Ketua Pegawai Eksekutif PPB Properties, Low Eng Hooi,\nDalam ucapan alu-aluan beliau, Andrew memaklumkan bahawa inspirasi Ais Konfeksi Harumanis Perlis bermula dengan lawatan beliau bersama-sama Ivan ke Perlis pada bulan Januari 2022 lalu untuk mengambil bahagian dalam Program Sumbangan Agihan Zakat MAIPs Peduli Bersama Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis.\nBeliau berkesempatan mendekati budaya dan kebanggaan warga Perlis terhadap keunikan buah Harumanis Perlis. Beliau tertanya-tanya tentang cara untuk menawarkan buah Harumanis Perlis kepada pengguna sepanjang tahun dengan mengekalkan rasa Harumanis Perlis yang unik dan istimewa. Oleh itu, apabila pulang dari Perlis, beliau mendapat idea untuk menghasilkan ais krim Harum Manis Perlis. Oleh hal yang demikian, semua pekerja di kilang dan Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan dengan segera memulakan proses untuk menghasilkan Konfeksi Ais Harumanis Perlis.\nRasa harumanis yang unik dan istimewa menyebabkan pihak syarikat mengekalkan nama produk ini dalam bahasa Inggeris, Harumanis Ice Confection. Melalui usaha penyelidikan dan pembangunan serta pelancaran Ais Konfeksi Harumanis, beliau berharap dapat memperkenalkan lebih banyak produk berasaskan Harumanis pada masa depan sesuai dengan moto syarikat Sailors Gourmet Foods itu, iaitu \u201cTaste The Difference\u201d.\nProduk ini boleh diperoleh secara eksklusif di empat buah pasar raya, iaitu B.I.G., Village Grocer, BSC Fine Foods dan Leisure Grocer (The Food Purveyor)." "Inflasi Peringkat Pengeluar Terus Meningkat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Harga komoditi yang tinggi mendorong Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia meningkat sebanyak 0.2% kepada 11.2% pada bulan Mei. Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan bahawa IHPR yang mengukur harga barangan pada bulan April berada pada paras 11%.\nKetua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa peningkatan dalam IHPR pengeluaran tempatan pada Mei 2022 disumbangkan oleh indeks perlombongan yang meningkat sebanyak 20.6% berbanding dengan 18.4% pada bulan April 2022. Selain itu, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan pula mencatatkan peningkatan\u00c2\u00a0 sebanyak 16.7% disumbangkan, terutamanya oleh kenaikan dalam indeks bagi penanaman tanaman kekal (21.2%), perikanan (11.3%) dan penanaman tanaman tidak kekal (7.8%).\n\u201cPada bulan Mei 2022, indeks pembuatan mencatatkan peningkatan dua angka sebanyak 10.1% buat kali pertama sejak bulan Ogos 2011 dipacu oleh kenaikan dalam indeks subsektor pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (24.5%), pembuatan produk petroleum bertapis (22.9%) dan pembuatan kimia asas, baja dan sebatian nitrogen, plastik dan getah sintetik dalam bentuk primer (13.3%). Sementara itu, indeks bekalan air meningkat 1.2%, manakala indeks bekalan elektrik dan gas menurun 0.6%.\u201c\nBeliau turut menyatakan bahawa peningkatan dua angka dalam IHPR di Malaysia selari dengan kenaikan inflasi pada peringkat pengeluar bagi beberapa negara terpilih yang dipengaruhi oleh faktor kekurangan bekalan, terutamanya bahan mentah berikutan kelonggaran sekatan, pembukaan ekonomi serta perang antara Russia dengan Ukraine.\nBeliau turut menambah inflasi pada peringkat pengeluar bagi United Kingdom meningkat sebanyak 15.7% pada bulan Mei 2022, naik daripada 14.7% dicatatkan pada bulan April 2022. Selain itu, kenaikan turut didorong harga yang lebih tinggi bagi bahan api dan bahan mentah yang meningkat lebih daripada 22% dari tahun ke tahun." "Funding Societies Umum Perolehan CardUp\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Funding Societies\u00a0platform pembiayaan digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbesar di Asia Tenggara, hari ini mengumumkan pengambilalihan perkhidmatan pembayaran serantau, CardUp, untuk jumlah yang tidak didedahkan. Menerusi langkah ini, Funding Societies akan memperoleh keupayaan pembayaran CardUp seperti pembayaran melalui kad kepada penerima yang tidak mempunyai kemudahan penerimaan pembayaran kad (bagi transaksi dalam dan luar negeri), penerimaan pembayaran secara dalam talian, perisian automasi invois serta lesen berkenaan dan penyepaduannya dengan perisian perniagaan pihak ketiga terkenal.\nPerkhidmatan pembayaran CardUp ini akan melengkapi produk pembiayaan Funding Societies, untuk menawarkan pengalaman kewangan yang disatukan untuk PKS serantau, membolehkan PKS mengurus dan membuat pembayaran perbelanjaan, menerima pembayaran, serta membuat pinjaman pembiayaan melalui satu platform digital.\n\u00a0\nPengumuman ini menyusuli berita pendanaan Siri C+ yang diraih platform tersebut sebanyak USD294 juta (RM1.29 bilion) pada Februari 2022, yang USD144 juta (RM634 juta) diperoleh melalui ekuiti, diikuti pelaburan dalam Bank Index di Indonesia, pelancaran kad maya perniagaan Elevate di Singapura dan kemasukannya ke pasaran kelima, iaitu Vietnam. Hal ini seterusnya memperkukuh rangkaian keupayaannya dalam menyediakan perkhidmatan kewangan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serantau.\nCardUp\u00a0 yang dilancarkan pada tahun 2016 dan beribu pejabat di Singapura, menyediakan penyelesaian pembayaran yang membantu individu serta perniagaan untuk membuat pembayaran kepada pembekal dan mengutip pembayaran daripada pelanggan secara digital. Beroperasi di pasaran Singapura, Malaysia dan Hong Kong, CardUp telah membantu puluhan ribu perniagaan, termasuklah perniagaan mikro, PKS dan korporat merentasi spektrum industri daripada perniagaan kepada perniagaan dan daripada pengguna kepada perniagaan.\nPerniagaan ini menggunakan CardUp untuk pelbagai urusan perbelanjaan perniagaan, antaranya termasuklah pembayaran gaji, sewa, cukai korporat, pembayaran vendor, aliran belum terima dan perbelanjaan rentas sempadan. Dengan jangkaan permintaan besar daripada syarikat-syarikat yang ingin menjimatkan masa dan kos menerusi pendigitalan pembayaran, CardUp menyaksikan pertumbuhan pesat yang merakamkan peningkatan sebanyak 53% dari suku ke suku .\nPengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Funding Societies Modalku, Kelvin Teo, berkata, \u201cSetelah mengenali Nicki dan CardUp sejak tahun 2018, kami mendapati CardUp mempunyai kesesuaian budaya dan strategik yang hebat. Pengambilalihan CardUp akan meningkatkan jangkauan dan mempercepatkan aspirasi kami dalam menjadi peneraju pasaran FinTech serantau, menyepadukan keupayaan pembayaran, mempertingkatkan pengalaman pengguna dan pelesenan tempatan yang berkait rapat dengan pinjaman digital yang kami sediakan di pasaran utama rantau Asia Tenggara. Kami teruja untuk bekerjasama bersama-sama pasukan CardUp, sekali gus berbesar hati untuk bergabung tenaga dengan mereka.\u201d\nPengambilalihan ini tepat kerana PKS dijangka melonjakkan pasaran kewangan digital ASEAN dengan pendapatan bernilai USD60 bilion (RM263.64 bilion) menjelang tahun 2025. Ini seterusnya akan menyumbangkan sebanyak 17% daripada keseluruhan hasil industri perkhidmatan kewangan serantau. Sementara itu, sektor pembayaran perniagaan serantau dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (KPTK) sebanyak 10% dalam tempoh lima tahun akan datang. Transaksi ini juga sejajar dengan usaha PKS ASEAN yang melaksanakan pendigitalan proses kewangan mereka untuk mencapai penjimatan masa dan kos serta penambahbaikan dalam perkhidmatan pelanggan menerusi penyelesaian dan aplikasi kewangan generasi terkini.\nPengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif CardUp, Nicki Ramsay, berkata, \u201cKami telah lama mengiktiraf Funding Societies sebagai peneraju pembiayaan PKS serantau selain menjadi pelengkap kepada kepakaran pembayaran kami. Pengambilalihan ini mencerminkan sinergi strategik dan budaya erat yang kedua-dua pihak mempunyai misi untuk membantu PKS menambah baik operasi perniagaan serta pengurusan aliran tunai. Kami yakin CardUp dan tenaga kerja kami akan berada dalam jagaan baik bersama Kelvin dan pasukannya, dan kami menantikan fasa pertumbuhan seterusnya syarikat ini.\u201d\nSetelah pengambilalihan ini dimuktamadkan dan diluluskan oleh pihak pengawal selia, Funding Societies akan mengalu-alukan Nicki Ramsay ke dalam kumpulan pengurusannya untuk menerajui segmen pembayaran. Di samping itu, semua tenaga kerja semasa CardUp di seluruh Asia akan dikekalkan. CardUp akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna dan kliennya serta mengekalkan hubungan yang telah lama terjalin dengan rangkaian perkhidmatan kad, pengguna, dan rakan media. Funding Societies dan CardUp akan memanfaatkan sinergi kukuh dalam bentuk pelengkapan bakat, teknologi, serta melalui kerjasama bank dan teknologi untuk memperkasakan lagi PKS di Asia Tenggara.\nDengan lebih daripada 50% bahagian pasaran di Malaysia, Funding Societies merupakan peneraju industri pembiayaan digital PKS melalui penyelesaian pembiayaan yang disesuaikan mengikut keperluan perniagaan PKS yang pelbagai. Dengan proses aplikasi sepenuhnya dalam talian, platform ini menangani cabaran-cabaran yang lazim dihadapi PKS apabila mendapatkan penyelesaian pembiayaan termasuk keperluan cagaran, penyerahan dokumentasi fizikal dan tempoh pemprosesan yang panjang. Di seluruh Asia Tenggara, Funding Societies telah menyalurkan lebih daripada RM10.28 bilion dana modal kerja menerusi lebih 5.1 juta pembiayaan." "Kerajaan Sentiasa Tingkatkan Bantuan dan Subsidi untuk Rakyat bagi Tangani Cabaran Kos Sara Hidup\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Nanomalaysia Lancar CLEVER Rancakkan Teknologi Kenderaan Elektrik Tempatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIskandar Puteri\u00a0 \u2013 Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba merasmikan pelancaran program Campus for Local Electric Vehicle Expeditious Roll-out (CLEVER) di EduCity Iskandar, Johor. CLEVER yang diterajui oleh NanoMalaysia Berhad (NMB) ialah sebuah program untuk merancakkan penggunaan teknologi kenderaan elektrik atau electric vehicle (EV)di kawasan kampus universiti terpilih. Inisiatif CLEVER ini akan dimulakan di EduCity Iskandar, diikuti di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).\nProgram ini bertindak sebagai platform atau \u00a0medan ujian pengawalseliaan dan inovasi untuk membolehkan syarikat pemula dan inovator menjalankan eksperimen secara langsung dalam persekitaran terkawal. Program ini akan meliputi mobiliti elektrik dua roda, stesen penukaran bateri, pembangunan penukaran kenderaan Enjin Pembakaran Dalaman (ICE) kepada EV, penggunaan sistem autonomi, dan pengecasan luar grid menggunakan tenaga boleh diperbaharui yang dilaksanakan di kawasan kampus.\nMenurut YB Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba, pelancaran CLEVER adalah selari dengan fokus Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk meningkatkan pembangunan dan penggunaan teknologi EV tempatan. Ia juga menyokong sasaran Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 untuk menyediakan kira-kira 5000 buah stesen mengecas EV bagi mengukuhkan infrastruktur EV. Langkah ini juga secara tidak langsung akan menggalakkan rakyat untuk memiliki dan menggunakan EV pengangkutan pilihan.\n\u201cPenglibatan NMB signifikan dalam mewujudkan ekosistem kondusif yang menggalakkan bakat-bakat tempatan untuk membangunkan kecemerlangan teknologi dan memasarkan pencapaian mereka. CLEVER merupakan inisiatif yang dilaksanakan bagi meningkatkan pembangunan dan penggunaan teknologi EV. Justeru, MOSTI memberikan sokongan sepenuhnya bagi memastikan program CLEVER ini berjaya,\u201d kata YB Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba.\nNMB berperanan memudahkan perkembangan teknologi, menetapkan peraturan serta meminda perlindungan insurans dengan mengumpul data penerimaan pengguna, prestasi serta keselamatan sebelum pelaburan berskala besar dan penggunaan ke pasaran Malaysia dapat direalisasikan. NMB yang juga sebuah agensi di bawah MOSTI sebelum ini telah melancarkan beberapa program bagi meningkatkan dan penggunaan teknologi EV. Antaranya termasuklah NanoMalaysia Energy Storage Technology Initiative (NESTI), Kereta Lumba Elektrik Berkuasa Hidrogen (HyPER), Kenderaan Autonomi NanoMalaysia (NAVi) dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Ekosistem Mobiliti Mikro EV bersama rakan kerjasama dari Korea Selatan. MOSTI mendorong agenda EV di bawah Aspirasi Keluarga Malaysia 2021 dan meletakkan Malaysia sebagai pengeluar komponen EV.\nMenurut Ketua Pegawai Eksekutif NMB, YBrs. Dr. Rezal Khairi Ahmad, CLEVER berfungsi menangani isu penggunaan EV yang dihadapi Malaysia hingga hari ini, termasuklah isu mampu milik, teknologi EV tempatan, bakat mahir tempatan serta sokongan teknikal, kekurangan infrastruktur terkemuka dan kebimbangan jarak (range anxiety) melalui pendekatan terbaik.\n\u201cKami berbesar hati kerana kerajaan telah menggerakkan agenda EV melalui subsidi dan insentif cukai sebagai langkah pertama untuk mempercepatkan pemilikan kenderaan EV di Malaysia. Bagi memastikan usaha ini mampan dan dipertingkat, kemajuan teknologi tempatan seperti yang akan diterajui oleh CLEVER ini diperlukan untuk penyelesaian jangka panjang. Hal ini secara tidak langsung akan meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam pasaran EV dan tenaga boleh diperbaharui di ASEAN. Kesan limpahan juga akan meletakkan negara sebagai kuasa utama dalam Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) melalui sistem digital yang berkaitan industri EV,\u201d \u00a0ujar Dr. Rezal Khairi\nPada majlis yang sama, beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan pelaksanaan CLEVER turut dimeterai. Menerusi MoU antara NMB dengan UTHM, kedua-dua pihak akan bekerjasama menjalankan penyelidikan dan perundingan bagi membangunkan produk, perpindahan teknologi atau idea baharu. Ini bagi menyokong usaha pelaksanaan inisiatif pengurangan kadar pelepasan karbon.\nSelain itu, satu lagi MoU turut dimeterai antara NMB dengan UNITEN bagi pertukaran kepakaran, pengalaman dan kemahiran. Usaha sama ini akan memberikan pulangan faedah serta pertumbuhan bersama dalam skop CLEVER dan tenaga boleh diperbaharui bagi sistem pengecasan EV.\nSeterusnya, MoU antara NMB dengan UTM dan NMB bersama EduCity. Memorandum ini adalah untuk memanfaatkan rangkaian, bidang kepakaran, sumber pengetahuan seterusnya membentuk kerjasama erat di dalam skop CLEVER di antara ketiga-tiga pihak." "Krisis Ekonomi Global Kesannya terhadap Sekuriti Makanan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKrisis makanan yang berlaku di Malaysia ketika ini harus difahami bukan hanya disebabkan oleh faktor global, tetapi juga dipengaruhi oleh tadbir urus dalam menangani krisis ekonomi ini. Keadaan menjadi lebih berisiko kerana sektor ekonomi negara mempunyai hubungan langsung dengan jaringan gergasi ekonomi dunia, khususnya Amerika Syarikat, Jepun, China, Rusia, dan benua Eropah.\nRealiti yang perlu difahami serta dijanakan dengan bijak oleh masyarakat, khususnya meneliti kesan terbesar yang menyebabkan ekonomi dunia merudum. Akibatnya, ekonomi Malaysia dan ekonomi negara serantau turut terkesan. Pastinya, faktor utama penyebabnya ialah pandemik COVID-19.\nPandemik COVID-19 yang menyebabkan pengoperasian kegiatan ekonomi berskala besar dunia terjejas. Rangkaian perhubungan dan penghantaran barangan, termasuklah makanan bagi tujuan import dan eksport menerusi jaringan pengangkutan air, khususnya kapal laut terjejas.\nIsu berkaitan dengan krisis ekonomi dunia dikupas oleh tokoh ilmuwan ekonomi terkenal, Profesor Dr. Jomo Kwame Sundaram, Felow Akademi Sains Malaysia dan Dr. Michael Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersama-sama M.S. Anur Mahmod sebagai moderator menerusi slot \u201cAnekdot\u201d dalam Facebook Langsung dan YouTube Dialektika TV yang bertajuk \u201cSubsidi Bersasar atau Tersasar\u201d.\nMenurut Profesor Dr. Jomo, sebelum pandemik COVID-19, terdapat sebanyak 10 buah syarikat perkapalan dunia yang terlibat dengan trafik import eksport. Namun begitu, kerancakan sistem pengangkutan yang menjadi nadi ekonomi dunia ini ternyata dilumpuhkan oleh pandemik COVID-19.\nKini, terdapat hanya empat buah syarikat perkapalan yang masih menjalankan perniagaan. Situasi ini memberikan kesan yang amat besar kepada trafik aliran eksport bahan makanan dan perdagangan di seluruh dunia. Hal ini demikian kerana sistem pengangkutan amat penting dalam menentukan kelestarian sistem bekalan berada dalam rantaiannya dan sekiranya sistem bekalan ini diputuskan, maka banyak negara yang akan \u00a0menerima kesannya.\nFaktor seterusnya menurut beliau ialah kesan peperangan yang berlaku terhadap Ukraine. Masyarakat dunia tidak seharusnya memandang sebelah mata isu peperangan global. Hal ini demikian kerana konflik kedua-dua buah negara ini akan memberikan tempias kepada negara-negara lain. Misalnya, tekanan terhadap Rusia oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah menyebabkan Rusia menghentikan eksport gandumnya ke seluruh dunia. Akibatnya, berlaku krisis gandum yang kritikal.\nBukan hanya gandum, umum juga harus memahami bahawa sektor pertanian yang dibangunkan oleh setiap negara di dunia ini memerlukan baja untuk hasil pertanian yang maksimum. Kesan pemulauan oleh negara-negara anti-Rusia, mengakibatkan Rusia yang merupakan pengeluar baja untuk pertanian turut menghentikan eksport baja pertanian. Tindakan Rusia itu memberikan kesan yang besar kepada sektor pengeluaran makanan dunia.\nSeperkara lagi yang mesti difahami oleh umum adalah tentang jaringan kuasa ekonomi global AS, Jepun dan sekutunya yang bertindak mengepung ekonomi China. Tindakan ini menyebabkan Malaysia yang bergantung pada sebahagian jaringan dengan negara Tembok Besar ini turut mengalami kesannya. Semua tindakan tersebut secara langsung memberikan kesan besar terhadap jaminan keselamatan makanan negara.\nProfesor Dr. Jomo melontarkan kebimbangan beliau terhadap kualiti makanan golongan B40, apabila haiwan unggas seperti ayam sebagai sumber protein utama rakyat Malaysia kini mengalami krisis yang serius. Kenaikan harga ayam sudah tentu memberikan kesan kepada faktor lain ekonomi dan sudah tentu subsidi yang disediakan oleh kerajaan akan digunakan sebaik-baiknya oleh mereka yang terlibat bagi menangani krisis ini.\nProfesor Dr. Jomo berkongsi pendapat tentang penelitian beliau terhadapi sektor pengeluaran makanan global dan kesannya terhadap ekonomi Malaysia, khususnya isu sekuriti makanan. Menurut beliau Malaysia harus mempelajari isu subsidi dari negara Jepun berkaitan dengan sekuriti makanan. Menurut beliau, Jepun membekalkan makanan yang lengkap zat kepada kanak-kanak di sekolah sejak seabad yang lalu.\nDr. Michael Jeyakumar Devaraj pula berkongsi pandangan beliau berkaitan dengan suasana peningkatan harga barang makanan. Keadaan ini amat menjejaskan keperluan asas, ditambah pula dengan tekanan penarikan subsidi daripada kumpulan B40 dan B20.\nMenurut beliau, keperluan harian rakyat menghadapi banyak masalah. Oleh itu, penelitian berkaitan dengan kawalan harga barang perlu dibuat. Hal ini supaya rantaian bekalan tidak terputus walaupun sektor ekonomi secara realitinya berdepan dengan pengunduran peniaga yang mengakibatkan inflasi pembekal.\nPada masa yang sama, para peniaga diharapkan masih mendapat margin keuntungan yang akan memotivasikan mereka agar kekal beroperasi seperti biasa walaupun dalam situasi yang agak tegang ketika ini. Subsidi yang dikurangkan ini juga memberikan kesan kepada para peniaga apatah lagi kepada pengguna.\nDr. Kumar berpandangan bahawa subsidi sebanyak RM200.00 kepada B40 selama enam bulan atau tempoh yang lebih panjang amat perlu dalam keadaan negara berdepan dengan krisis kekurangan bekalan ayam dan harga ayam yang tinggi. Beliau juga menegaskan bahawa sekiranya subsidi diberhentikan, golongan sasaran akan menerima kesannya. Mereka akan berasa terabai dan mengalami kesan-kesan yang lain. Oleh itu, kerajaan harus segera melaksanakan mekanisme yang memberikan impak terbaik kepada rakyat dan keluk ekonomi negara, khususnya subsidi kepada golongan yang selayaknya menerima subsidi ini.\nDr, Kumar turut menyentuh pengalaman Malaysia dalam jihad memerangi orang tengah. Gerakan ini bertujuan menghapuskan monopoli dan eksploitasi yang berlaku. Budaya ekonomi yang tidak sihat ini menjejaskan rantaian ekonomi, khususnya golongan rakyat. Kesan buruk yang paling ketara ialah kenaikan harga yang sukar dikawal oleh penguasa.\nDalam sesetengah keadaan, jurang pola populasi berpendapatan tinggi dan miskin semakin luas. Sebanyak RM37.3 billion subsidi disalurkan oleh kerajaaan kita untuk gas, petrol dan diesel. Manakala, sebanyak RM7 billion subsidi untuk tenaga elektrik dan RM4 billion subsidi untuk minyak masak.\nMeneliti subsidi bersasar, impaknya adalah terhadap marhaen. Menurut Dr. Kumar, keadaan ini menyebabkan subsidi akan tersasar jika golongan berada lebih banyak mengecap labanya, bukannya marhaen. Beliau juga mencadangkan agar setiap Keluarga Malaysia diberi kuota untuk pembelian barangan asas. Sebagai contohnya, petrol RON95 bersubsidi pada kadar RM2.10 seliter dan apabila melebihi had yang ditetapkan, pengguna akan membayar harga tanpa subsidi. Cadangan ini sudah tentu akan dapat membantu golongan yang terjejas pada era krisis ini.\nMenurut Dr. Kumar, subsidi bersasar sepatutnya memberikan manfaat kepada rakyat berdasarkan penelitian panel, iaitu dengan kemajuan negara dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam berbanding dengan menggalakkan rakyat memiliki kereta masing-masing; menggalakkan ekonomi hijau, khususnya meneroka atau sudah tiba masanya memanfaatkan tenaga yang diperbaharui.\nDr. Kumar mengingatkan semua pihak agar lebih berhati-hati menangani hal-hal berkaitan dengan kebergantungan sumber makanan utama, khususnya beras yang diimport dari luar negara. Keadaan ini amat berisiko jika tidak ditangani dengan baik dan cekap. Malaysia akan mengalami kesan yang amat buruk akibat kekurangan bekalan makanan ruji.\nDr. Kumar mencadangkan agar kerajaan menyediakan subsidi yang lebih besar kepada sektor pertanian padi. Melalui petisyen yang dihantar kepada Parlimen menerusi \u201cPadi Rescue\u201d, beliau menjelaskan bahawa terdapat 14 tuntutan yang dikemukakan bagi memastikan jaminan keselamatan pengeluaran padi sebagai bahan makanan utama negara.\nSecara keseluruhannya, perbincangan tersebut menemukan kesepakatan bahawa subsidi yang disediakan oleh kerajaan akan memberikan kesan yang positif secara holistik, khususnya kepada graf ekonomi. Kerajaan pastinya akan memberikan kesan \u201ckesihatan\u201d yang baik dan menyeluruh kepada rakyat dari segi ekonomi keluarga, sosial, pendidikan, dan sebagainya yang kelak akan mewujudkan negara yang sejahtera untuk rakyatnya." "Ekonomi Malaysia Terus Berkembang Pada Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "BNM Dijangka Menaikkan Lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR)\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Subsidi Ringankan Beban Rakyat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Kadar Jangka Pendek Diunjurkan Stabil Susulan Operasi BNM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "\u201cPenyataan\u201d dan \u201cPernyataan\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nKini, kebanyakan organisasi mempunyai mission statement dan dicetak dalam dokumen rasminya. Kalau diterjemahkan frasa tersebut ke dalam bahasa Melayu, adakah terjemahannya menjadi penyataan misi atau pernyataan misi? Apakah perbezaan antara penyataan dengan pernyataan?\n\u00a0\nDaripada:\nNasharuddin Haniff,\nKuala Lumpur." "Malaysia dan Indonesia perlu Bekerjasama Bina Semula Industri Acara Perniagaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Malaysia dan Turkiye Jalin Kerjasama Industri dan Teknologi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAnkara\u00a0 \u2013 Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dan Turkish Aerospace Industries Inc. (TAI) hari ini memeterai komitmen kerjasama bagi penggalakan pembinaan kapasiti dan keupayaan bersama dalam industri dan teknologi antara Malaysia dengan Turkiye melalui pemeteraian Surat Niat kedua-dua organisasi.\nMajlis pemeteraian itu berlangsung di Istana Presiden, Ankara dan disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Republik Turkiye, TYT Recep Tayyip Erdogan.\nTerdahulu, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob mengadakan lawatan ke TAI yang merupakan Pusat Kecemerlangan Turkiye bagi reka bentuk, pembangunan dan pemodenan pesawat udara, sistem kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) serta subsistem satelit dan angkasa lepas.\nTAI telah membuka pejabat kejuruteraan dan reka bentuk di Cyberjaya yang kini menempatkan sebanyak 20 orang jurutera Malaysia.\nSyarikat pertahanan dan aeroangkasa terbesar di Turkiye itu turut komited untuk melatih dan menempatkan 100 orang jurutera tempatan dalam masa terdekat.\nMenteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba yang turut hadir mengiringi YB Perdana Menteri pada sesi lawatan tersebut menyatakan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terhadap jalinan kerjasama antara agensi di bawahnya, MIGHT dan TAI.\n\u201cMOSTI percaya bahawa elemen terpenting dalam memastikan transformasi Malaysia ke arah negara berteknologi tinggi adalah dengan mengeratkan kerjasama dan menyelaras model perniagaan bagi menerokai teknologi baharu,\u201d katanya.\nSementara itu, Pengerusi Bersama (Industri) MIGHT, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali menekankan bahawa perkongsian berterusan antara TAI dengan Malaysia yang dimudahkan oleh MIGHT\u00a0 menggalakkan pemindahan pengetahuan dalam bidang UAV, angkasa dan pesawat kepada pakar Malaysia daripada pelbagai agensi dan industri.\nTambah beliau, kerjasama itu mampu menjadi pemangkin kepada Malaysia dalam pengeluaran produk berteknologi tinggi negara, seterusnya mengurangkan kebergantungan pada perolehan asing dalam bidang strategik seperti pertahanan dan keselamatan. Hal ini juga merupakan satu langkah yang tepat dalam merealisasikan aspirasi Malaysia untuk memulihkan penguasaan dalam pembangunan teknologi di pasaran global." "Penipuan Pakej Haji Furada\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) memandang serius dan prihatin terhadap penipuan Pakej Haji Furada oleh sebuah agensi pelancongan terhadap rakyat Keluarga Malaysia yang terkandas di KLIA yang dikongsikan semalam.\nBerdasarkan semakan MOTAC, agensi pelancongan tersebut memiliki lesen dengan MOTAC. Pasukan penguatkuasaan MOTAC juga memantau dan menemu bual wakil syarikat di KLIA semalam dan dimaklumkan sekiranya bakal jemaah tidak mendapat penerbangan seperti yang dijadualkan, wang akan dikembalikan secara berperingkat dan pasport dipulangkan.\nDi samping itu, sekiranya rakyat Malaysia menjadi mangsa dalam kes tersebut tidak memperoleh wang semula seperti yang dijanjikan, mereka dinasihatkan agar membuat laporan polis di Balai Polis Main Terminal Building (MTB) KLIA atau mana-mana balai polis berdekatan.\nPara jemaah juga diminta membuat aduan rasmi kepada pihak MOTAC melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), MOTAC di pautan https://motac.spab.gov.my dan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di https://ttpm.kpdnhep.gov.my/portal/home bagi pemulangan wang. Dokumen yang perlu disertakan dalam SISPAA MOTAC adalah seperti berikut:\nMOTAC akan membuat siasatan sewajarnya tehadap syarikat di bawah Seksyen 8(1)(d), Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] kerana menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara, dan sekiranya didapati bersalah, syarikat boleh digantung atau dibatalkan lesen.\nOrang awam dinasihatkan agar sentiasa peka terhadap pemakluman rasmi daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia/agensi berkenaan dan membuat pengesahan terlebih dahulu terhadap apa-apa pakej yang ditawarkan oleh agensi pelancongan demi memastikan hak pembeli terpelihara dan mengelakkan kes penipuan.\nKementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia juga akan terus memantau perkara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482]." "Pindaan Pengoperasian Potongan Cukai 2% oleh Syarikat Pembayar Mulai Julai 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan bahawa perubahan pengemukaan bayaran potongan cukai 2% secara pentadbiran oleh syarikat\npembayar kepada ejen, pengedar atau pengagih (EPP) mulai Julai 2022 adalah seperti yang berikut:\n(a) Syarikat pembayar perlu membuat potongan cukai 2% kepada EPP bagi setiap transaksi potongan secara terkumpul mengikut bulan; dan\n(b) Amaun potongan cukai 2% berkenaan hendaklah diremitkan kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN) selewat-lewatnya pada hari terakhir bulan berikutnya.\nContoh:\n(c) Syarikat pembayar dikehendaki mengemukakan Borang CP107D \u2013 Pin 2/2022 dalam bentuk PDF dan Lampiran CP107D(2) dalam format Excel secara e-mel mengikut pusat bayaran seperti yang di bawah sebelum pembayaran dibuat. Pengemukaan borang dan lampiran secara e-mel adalah perlu bagi bayaran di kaunter bayaran atau secara pos.\nContoh:\nSekiranya e-mel dihantar ke Pusat Bayaran Kuala Lumpur, pembayaran boleh dibuat di Pusat Bayaran Kuala Lumpur sahaja.\n(d) Syarikat pembayar hendaklah mengemukakan salinan e-mel penghantaran Borang CP107D \u2013 Pin 2/2022 dan Lampiran CP107D(2) semasa membuat bayaran, untuk pengesahan dan semakan oleh pusat bayaran sebelum resit dikeluarkan.\n(e) Pastikan bilangan penerima, jumlah potongan cukai 2% dan nombor cek di Borang CP107D \u2013 Pin 2/2022 serta Lampiran CP107D(2) adalah sama dan tepat.\n(f) Borang CP107D \u2013 Pin 2/2022 dan Lampiran CP107D(2) boleh diakses dan dimuat turun dari Portal Rasmi HASiL melalui pautan di bawah:\nhttps://www.hasil.gov.my/borang/muat-turun-borang/muat-turun-borangcukai-pegangan/?subKategoriCukaiPegangan=Semua&tahun=Semua\n2. Sebelum membuat pengisian Lampiran CP107D(2), syarikat pembayar perlu memastikan penerima mempunyai nombor cukai pendapatan. Sekiranya penerima tidak mempunyai nombor cukai pendapatan, pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian melalui e-Daftar di https://edaftar.hasil.gov.my/.\n(3) Kelayakan dalam memastikan EPP itu layak dibuat potongan dalam tahun 2022\u00a0 adalah berdasarkan nilai ambang RM100 000 penerimaan bayaran (tunai dan bukan tunai) pada tahun sebelumnya (tahun 2021).\nSebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan dengan perkara ini boleh dikemukakan\nkepada HASiL melalui:\n(a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000/603-8911 1100 (luar negara);\n(b) HASiL Live Chat; dan\n(c) Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas\nhttps://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/." "Keusahawanan Sosial Bantu Lonjak Golongan Wanita\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bertitah bahawa kesedaran dan impak keusahawanan sosial melalui \u20183P\u2019, iaitu kepada masyarakat, alam sekitar, dan keuntungan terhadapnya perlu lebih diperluas da\u0142am kalangan masyarakat. Keusahawanan sosial bukan sahaja dapat membantu golongan masyarakat secara keseluruhannya, tetapi lebih khusus kepada wanita lain seperti ibu tunggal.\nOleh itu, kepakaran golongan wanita sangat diperlukan untuk terus mencetuskan lebih banyak idea kreatif dan inovatif bagi membantu menyelesaikan isu seumpama ini melalui pelaksanaan keusahawanan sosial. Kebijaksanaan golongan wanita yang mampu menjalankan perniagaan khususnya dalam keusahawanan sosial ini juga akan dapat terus disokong dan ditonjolkan pada peringkat lebih tinggi.\nBaginda menyatakan bahawa peranan wanita dalam pelbagai aspek dan bidang kini wajar dibanggakan kerana terbukti wanita juga mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Dalam konteks wanita sebagai usahawan, kita dapat melihat bahawa peranan dan sumbangannya terhadap ekonomi negara semakin ketara.\nBaginda bertitah sedemikian selepas berkenan menandatangani sijil penghargaan kepada ahli \u00a0Jawatankuasa Penganjur yang telah menjayakan program Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) Siri Ke-7, WiSE (Women in Search Of Excellence) Edisi \u2018Keusahawanan Sosial\u2019 pada 24 Mac 2022.\nProgram tersebut dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di bawah kepimpinan Ketua Setiausahanya, Dato\u2019 Suriani Dato\u2019 Ahmad melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) sebagai agensi pelaksana dan dikuasakan oleh Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).\nMajlis perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail." "Kemukakan Borang B Taksiran 2021 Selewat-lewatnya 15 Julai 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin memberikan peringatan kepada semua pembayar cukai individu pemastautin yang mempunyai pendapatan perniagaan agar mengemukakan Borang B Tahun Taksiran 2021 mereka selewat-lewatnya pada atau sebelum 15 Julai 2022 melalui kaedah e- Filing.\nSebagai panduan berkenaan dengan pengemukaan Borang Nyata Cukai ini, pembayar cukai boleh merujuk Program Memfail Borang Nyata bagi tahun 2022 yang boleh diakses dan dimuat turun menerusi pautan yang berikut:\n(a) BahasaMelayu:\nhttps://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2022_1.pdf\n(b) Bahasa Inggeris:\nhttps://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2022_2.pdf\nSebagai makluman, penerimaan Borang Nyata Cukai TT 2021 bagi pembayar cukai yang menjalankan perniagaan adalah sebanyak 166 869, iaitu sejumlah 165 673 diterima melalui kaedah e-Filing dan 1196 diterima menerusi borang kertas (manual) sehingga 31 Mei 2022. Pembayar cukai disarankan untuk mengemukakan Borang Nyata Cukai dan membayar cukai pendapatan mereka dalam tempoh yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang penalti lewat menghantar borang dan kenaikan lewat membayar cukai.\nPemprosesan bayaran balik cukai terlebih bayar sentiasa menjadi keutamaan HASiL dalam memastikan setiap pembayar cukai yang layak akan menerima bayaran balik cukai mereka dalam tempoh yang ditetapkan. Sehubungan dengan itu, pembayar cukai dinasihatkan agar mengisi maklumat yang tepat dan terkini dalam Borang Nyata Cukai mereka bagi membantu HASiL memproses setiap bayaran balik cukai terlebih bayar dengan lancar.\nSebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan dengan perkara ini boleh dikemukakan kepada HASiL melalui:\n(a) \u00a0Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);\n(b) \u00a0HASiL Live Chat; dan\n(c) \u00a0Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantashttps://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/." "Jualan Rakyat [email\u00a0protected] Harga Telur dan Ayam Lebih Rendah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Labuan dan Yayasan Wilayah Persekutuan akan melaksanakan Program Jualan Rakyat [email\u00a0protected] untuk barangan keperluan asas seperti ayam, ikan, sayuran, dan barangan makanan kering di Wilayah Persekutuan.\nProgram Jualan Rakyat [email\u00a0protected] ini memfokuskan kepada jualan barangan sumber protein utama bersubsidi, iaitu ayam dan telur ayam agar rakyat dapat berbelanja pada harga yang lebih rendah daripada harga siling yang ditetapkan kerajaan.\nProgram ini akan dilaksanakan di setiap Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur manakala di kedai-kedai yang dikenal pasti di Wilayah Persekutuan Labuan selama enam bulan dengan melibatkan peruntukan berjumlah RM3.48 juta.\nJualan akan bermula esok, iaitu pada 14 Julai 2022 di PA Sri Johor, Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, jualan ini masih berkonsepkan [email\u00a0protected], iaitu penjualan barangan keperluan asas dan barangan makanan kering secara terus daripada pembekal ke kawasan perumahan penduduk. Manakala, di Labuan, Program Jualan Rakyat ini akan dilaksanakan melalui peruncit yang telah dikenal pasti oleh Perbadanan Labuan agar rakyat boleh menikmati jualan barangan dengan harga yang lebih rendah. Dianggarkan sebanyak 147 000 penduduk di 61 buah PPR dan PA di Kuala Lumpur serta 19 000 orang penduduk daripada kumpulan B40 di Labuan bakal menerima manfaat menerusi Program Jualan Rakyat [email\u00a0protected] ini.\nSetiap penerima manfaat mestilah terdiri daripada warganegara Malaysia sahaja. Mereka akan dapat menikmati pembelian seekor ayam dengan kadar subsidi sebanyak RM3.00 seekor serta dapat berjimat sebanyak RM0.50 sen apabila membeli 10 biji telur ayam Gred B. Melalui program ini, setiap isi rumah dapat menjimatkan kos perbelanjaan barangan dapur sehingga 14.29% bagi setiap pembelian satu ekor ayam dan 10 biji telur.\nKerajaan serta Kementerian Wilayah Persekutuan komited mencari pelbagai kaedah untuk meringankan beban ekonomi Keluarga Malaysia dan mengurangkan kesan inflasi kepada rakyat secara umumnya. Semoga pelaksanaan program ini dapat meringankan beban kos sara hidup, terutamanya dalam kalangan B40 di Wilayah Persekutuan.\nOrang ramai diseru untuk merebut peluang keemasan bermula 14 Julai 2022 (Khamis), pukul 4.00 petang hingga 6.00 petang mengikut jadual Jualan Rakyat [email\u00a0protected]." "AIM Sumbang Geran Khas Bantuan Banjir Usahawan Keluarga Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBaling \u2013 Seramai 132 Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menerima Geran Khas Bantuan Banjir Usahawan Keluarga Malaysia bernilai RM3000 setiap seorang." "Batik Air Buka Tempahan ke Tiga Destinasi Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "MATRADE Sasar Hasil Eksport MTC Meningkat RM5 Bilion Menjelang Tahun 2025\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Bahasa Melayu Tonggak Tamadun Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang merangkap Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan memulakan bicaranya dalam slot Hebahan Warna Pagi yang bersiaran secara langsung menerusi radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (Radio IKIM), dengan menyentuh tajuk perbincangan \u201cBahasa Sendi Tamadun Bangsa\u201d. Menurut beliau, tajuk perbincangan tersebut merupakan tema bagi Bulan Bahasa dan Sastera Negara 2000-2004, yang juga digunakan sebagai tajuk lagu bersempena dengan sambutan tersebut.\nSemasa penubuhan negara suatu ketika dahulu, konsep kerakyatan dan kewarganegaraan diberi secara jus soli termasuklah kepada orang bukan Melayu. Jadi, sebagai timbal baliknya, para pemimpin kaum bukan Melayu menerima beberapa peruntukan yang berkaitan dengan asas kemelayuan sebagai tonggak kenegaraan termasuklah kedudukan Raja-raja Melayu, Islam sebagai agama persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan hak-hak sah kaum lain. Proses ini bukanlah satu diskriminasi tetapi merupakan proses pembinaan negara yang berteraskan perpaduan dan asas sejarah negara kita.\nKontrak sosial dan sejarah pembentukan negara ini perlu difahami oleh masyarakat termasuklah hal yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Bahasa kebangsaan ini merupakan antara satu daripada teras dalam sejarah pembentukan negara ini dan dimasukkan dalam perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini.\nSetiap orang baik yang beragama Islam mahupun yang bukan beragama Islam perlu berpegang pada fahaman bahasa yang merupakan alat terpenting dalam pembinaan sebuah tamadun. Ahli-ahli falsafah tamadun Yunani atau Greek Lama seperti Plato, Aristotle dan lain-lain lagi sangat mementingkan bahasa. Bahkan istilah gramatikos, iaitu tatabahasa telah wujud dalam tamadun tersebut sejak 500 Sebelum Masihi. Bukan itu sahaja, kajian puisi juga telah dijalankan dalam tamadun tersebut.\nManusia merupakan makhluk terbaik yang merujuk akal dan bahasa yang dikurniakan oleh Allah SWT. Tanpa bahasa, manusia tidak mungkin membangun dan mengembangkan tamadun. Nabi Adam AS sebagai manusia pertama juga dikurniai ilmu dan kemahiran bahasa. Wahyu Allah SWT yang mengandungi segala hukum juga diutuskan melalui bahasa. Imam al-Ghazali menyatakan bahasa itu merupakan ilmu permulaan yang penting kerana tanpa menguasainya pengembangan ilmu tidak akan berlaku. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya bahasa sebagai asas pembinaan jati diri dan asas pembangunan tamadun.\nDalam tamadun Melayu, bahasa Melayu digunakan sebagai tonggak tamadun. Buktinya, pendeta besar Buddha dari China, I-Tsing, dalam catatannya menulis bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa pemerintahan di Alam Melayu. Kedatangan Islam pula mengukuhkan lagi penggunaan bahasa Melayu dalam segala ruang lingkup kehidupan seperti akidah, syariah, sirah, undang-undang dan lain-lain. Bahasa Melayu juga digunakan secara meluas dalam hubungan diplomasi. Buktinya, terdapat ribuan warkah dan perjanjian perdagangan antara kerajaan Melayu dengan kerajaan asing seperti British dan Belanda yang menggunakan bahasa Melayu yang bertulisan Jawi.\nTamadun lain juga sangat menjaga kedudukan bahasa masing-masing. Kebanyakan tamadun yang membangun pada masa dahulu memindahkan segala ilmu daripada bahasa lain kepada bahasa mereka. Hal ini demikian kerana mereka menyedari bahawa segala ilmu hanya dapat disampaikan secara berkesan melalui penggunaan bahasa bangsa mereka sendiri. Tambah beliau, kita perlu mengenal pasti kekuatan bangsa dan tamadun lain untuk dimanfaatkan bagi mengangkat tamadun kita melalui penterjemahan.\nPenubuhan DBP setahun sebelum kemerdekaan mempunyai makna yang simbolik sebagai persiapan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang ampuh dan mampu menjadi bahasa tamadun negara. Tambah beliau lagi, penerbitan digital merupakan antara usaha penting oleh DBP yang berteraskan cita-cita untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa tonggak tamadun negara dan juga bahasa utama dunia. Bahasa Melayu mempunyai nilainya yang tersendiri kerana bahasa ini juga telah diajar di negara lain seperti di China, Jepun, Korea, Jerman dan lain-lain.\nSebelum mengakhiri bicaranya, beliau menyatakan bahawa bahasa Melayu jangan dianggap sebagai bahasa milik kaum Melayu semata-mata tetapi milik semua orang yang memiliki kewarganegaraan Malaysia. Menurut beliau, sebagai sektor ketiga yang berpengaruh dalam pembangunan tamadun, sektor penyiaran juga mampu menjadikan bahasa Melayu sebagai tonggak tamadun. \u201cBahasa kita tanggungjawab kita.\u201c" "RAM Ratings Semak Semula Unjuran Inflasi Malaysia Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPenarikan subsidi bagi minyak masak dalam botol dan harga siling yang tinggi bagi barangan makanan seperti ayam dan telur berkuat kuasa 1 Julai 2022. \u201cKami menjangkakan langkah ini bagi menaikkan inflasi keseluruhan pada separuh kedua 2022 sebanyak kira-kira 0.3%. Inflasi makanan telah meningkat kepada 5.2% pada Mei 2022 berbanding 3.2% pada Disember 2021. \u201cMemandangkan tekanan harga yang berpanjangan yang dihadapi oleh perniagaan, lebih banyak pelepasan kos bahan api dan penjanaan kepada pengguna tidak dapat dielakkan pada separuh kedua 2022. Asas yang rendah disebabkan oleh diskaun tarif elektrik PEMULIH pada suku ketiga 2021 turut mendorong kadar inflasi keseluruhan lebih tinggi pada tahun ini.\u201c" "Kerajaan Salur RM20.89 Bilion bagi Program Subsidi Upah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Trend Muflis Menurun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Kementerian Kewangan Arah Penjimatan Perbelanjaan Kerajaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Pengeluaran Getah Asli Malaysia Menyusut 6.3% pada Mei 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "IMF Jangka Kemeseletan Ekonomi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTinjauan mendapati ekonomi global telah menjadi suram dalam beberapa bulan\u00a0 kebelakangan ini. Kejutan harga komoditi akibat perang di Ukraine telah memburukkan lagi krisis kos sara hidup bagi ratusan juta orang dan hanya menjadi lebih teruk.\nTambah beliau, kadar inflasi juga dijangka terus meningkat. Pada ketika ini, Amerika Syarikat (AS) menyaksikan kadar inflasi meningkat pada paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun iaitu sebanyak 9.1% pada Jun lalu." "Road to Maha 2022 \u2013 Program Khas Jualan Terus dari Ladang Keluarga Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Ekspo Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2022 (MAHA 2022) yang bakal diadakan dari 4 Ogos hingga 14 Ogos 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang menyasarkan hasil jualan melebihi RM250 juta dengan kunjungan \u00a0sebanyak 100 000 orang setiap hari.\nRoad to MAHA 2022 yang diadakan di Dataran Gedong, Sarawak ini merupakan kesinambungan siri jelajah seluruh negara yang dimulakan pada 1 Julai lalu di MAEPS, Serdang. Tema penganjuran MAHA 2022 pada tahun ini ialah \u201cSekuriti Makanan untuk Masa Depan\u201d bertepatan dengan cabaran yang sedang dihadapi negara dan global ketika ini.\nYBhg. Datuk Badrul Hisham Mohd, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI berkata \u201cIni merupakan siri Road to MAHA ketiga dan seterusnya akan diadakan Zon Selatan, Zon Sabah, Zon Timur, dan di Zon Tengah, iaitu di MAEPS sebagai destinasi terakhir bagi menghebahkan kepada orang ramai mengenai penganjuran MAHA 2022.\u201d\nSemestinya MAHA pada tahun ini amat dinantikan selepas empat tahun tidak diadakan kerana pandemik COVID-19. Hari ini kita dapat lihat pelbagai aktiviti promosi MAHA diadakan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memperkenalkan fruit of the event MAHA, iaitu Keluarga Artocarpus seperti nangka, cempedak, sukun, dan nangchem. Turut diperkenalkan ialah sembilan menu makanan seperti Laksa Sarawak, Mi Kolok, Bihun Belacan, Ayam Pansuh dan lain-lain.\nSelain itu, pengunjung MAHA 2022 juga bakal dihidangkan dengan 333 menu Makanan Keluarga Malaysia di Kluster Empayar Makanan dan 101 menu di Kluster Food Truck Fiesta. Program ini memberikan peluang kepada hampir 174 orang usahawan untuk menyertai peluang perniagaan yang disediakan oleh FAMA bersempena dengan MAHA 2022. MAFI menerusi FAMA melihat pemasaran hasil pertanian secara terus kepada pengguna sebagai satu kaedah mengurangkan kebergantungan pengeluar kepada orang tengah.\nProgram Khas Jualan Terus dari Ladang Keluarga Malaysia (JTDLKM) yang dianjurkan di Dataran Gedong, Sarawak ini memberikan ruang kepada pengguna untuk mendapatkan keperluan harian dengan memberikan nilai penjimatan kepada pengguna sekurang-kurangnya sebanyak 5% hingga 10% daripada harga pasaran setempat bagi produk terpilih.\n\u201cProgram ini dapat memendekkan rantaian pemasaran agromakanan bagi memberi harga yang terbaik kepada pengguna. Ini adalah selaras dengan saranan YAB Perdana Menteri untuk meneruskan konsep Jihad Memerangi Orang Tengah. Hal ini demikian kerana semua usahawan yang terlibat merupakan pengeluar hasil pertanian itu sendiri,\u201d ujar Datuk Badrul Hisham.\nProgram khas JTDLKM ini merupakan kerjasama lima agensi di bawah MAFI iaitu FAMA, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT). Antara lokaliti pelaksanaan termasuklah di kawasan perumahan, pejabat kerajaan dan projek peruncitan bimbingan agensi-agensi.\nSebanyak 8400 orang usahawan terlibat dengan sasaran nilai jualan adalah sebanyak RM10.5 juta. YBhg. Dato\u2019 Haji Mohamad Mustahapa Awang, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA berkata, \u201cFAMA menyasarkan sebanyak 840 kali penganjuran di 70 buah lokasi di seluruh negara hingga bulan Disember. Bermula 1 Jun hingga 10 Julai 2022, sebanyak 362 program dilaksanakan dengan nilai jualan terkumpul sebanyak RM4.88 juta.\nMelalui penganjuran setakat ini, sebanyak RM488 ribu penjimatan atau pulangan diperoleh rakyat yang memberikan manfaat kepada 185 000 orang pengunjung.\u201d Melalui tempoh yang sama juga, JTDLKM mencatatkan kuantiti jualan keseluruhan berjumlah 588 metrik tan (mt) seperti sayur-sayuran (111 mt), buah-buahan (172 mt), ikan (99 mt), dan pelbagai (85 mt).\nSebanyak 80 667 ekor ayam dijual sepanjang penganjuran program ini. Di negeri Sarawak sahaja, JTDLKM dianjurkan di lapan buah lokasi. Pada penganjuran program pada hari ini, sebanyak 33 orang usahawan menyertainya." "Hari Jualan Dalam Talian ASEAN 2022 Berlangsung Bulan Depan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "PERKESO Skim Perlindungan Sosial Pekerja\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bertanggungjawab menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja dan tanggungannya melalui pelbagai skim perlindungan yang ditawarkan. Caruman PERKESO melibatkan liputan dua akta, iaitu Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.\nBagi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, kadar caruman secara amnya adalah sebanyak 1.75% oleh majikan dan 0.5% oleh pekerja berdasarkan gaji bulanan pekerja mengikut kadar jadual caruman yang disediakan. Namun begitu, bagi pekerja yang berumur 60 tahun ke atas, caruman hanyalah sebanyak 1.25% oleh majikan bagi perlindungan skim bencana pekerjaan sahaja. Sementara itu, bagi Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017, kadar caruman adalah sebanyak 0.2% daripada gaji bulanan pekerja, dibuat oleh majikan dan pekerja. Caruman berkenaan merupakan sumbangan untuk perlindungan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).\nKebiasaannya, apabila berbicara tentang landskap perlindungan keselamatan sosial di Malaysia, masyarakat lebih mengenali Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang merupakan tabung simpanan persaraan. Hal ini demikian kerana penyata aliran tunai wang caruman tersebut tersedia bagi setiap individu. Setiap sen yang disumbangkan ke dalam tabung tersebut dapat dilihat pertumbuhannya. Malah, pengumuman dividen bagi pelaburan tersebut turut dinantikan saban tahun. Maka, sumbangan wang caruman dan hasil pelaburannya dapat dinilai secara langsung.\nCaruman dalam PERKESO pula berbeza. Perlu diingatkan bahawa caruman PERKESO merupakan konsep insurans sosial, bukan tabung simpanan. Maka, hanya pencarum yang terbencana akan mendapat bantuan langsung daripada PERKESO. Barangkali, \u00a0disebabkan oleh jumlah caruman yang secara relatifnya kecil, maka tidak banyak orang yang berminat dan cakna terhadap pulangan pelaburan PERKESO. Malah, banyak orang yang tidak sedar bahawa PERKESO menawarkan perkhidmatan dan bantuan khas kepada pencarumnya. Pada masa yang sama, ada banyak pihak yang memperkecilkan sumbangan PERKESO kepada masyarakat.\nMenerusi tinjauan penulis terhadap rakan dan keluarga terdekat, penulis mendapati bahawa kesedaran awam tentang perkhidmatan dan bantuan PERKESO kepada masyarakat masih rendah. Malah, penulis baru sahaja terbuka mata dengan perkhidmatan PERKEAO ketika menjalankan kajian penyelidikan berhubung dengan penjagaan jangka panjang di Malaysia.\nSeiring dengan peredaran masa dan perubahan teknologi, PERKESO dilihat begitu komited untuk menambah baik perkhidmatannya kepada masyarakat. Baru-baru ini, penulis berpeluang mengunjungi Pusat Rehabilitasi PERKESO di Melaka bagi tujuan penyelidikan. Kunjungan tersebut merupakan satu pengalaman yang membuka mata dan mengagumkan.\nPusat rehabilitasi yang mula beroperasi sejak bulan Oktober 2014 yang bertaraf antarabangsa itu mampu membantu rakyat Malaysia. Inilah kuasa insurans sosial yang lahir daripada perpaduan, persaudaraan, dan kerjasama. Pusat tersebut menawarkan perkhidmatan yang mengintegrasikan pengurusan hilang upaya, rehabilitasi perubatan, rawatan rehabilitasi neurorobotics and cybernics, rehabilitasi vokasional, penginapan, dan kemudahan lain.\nPusat Rehabilitasi PERKESO bertujuan membantu individu yang memiliki insurans PERKESO dan golongan pekerja untuk pulih secara fizikal dan vokasional. Usaha ini dibuat agar mereka dapat kembali bekerja dan kembali kepada masyarakat dengan penuh keyakinan melalui perkhidmatan yang ditawarkan.\n1. Pengurusan Hilang Upaya\nPelan rehabilitasi yang komprehensif dan integrasi yang akan dikawal selia oleh seorang pengurus kes yang dibantu oleh kakitangan\u00a0klinikal dan rehabilitasi dari pelbagai disiplin.\nProgram ini bertujuan menyediakan individu kembali ke alam pekerjaan. Manakala, bagi kes yang lebih serius, program ini bertujuan agar individu terbabit mampu berdikari dalam pengurusan diri sehari-hari.\n2. Rehabilitasi perubatan\nRawatan yang ditawarkan, antaranya termasuk fisioterapi, terapi cara kerja, terapi hidro, terapi pertuturan, terapi sensori, pembangunan prostetik dan ortotik, dan rehabilitasi kerja.\n3. Rawatan rehabilitasi neurorobotics and cybernics \nPusat ini dilengkapi dengan Robot Suit HAL (Hybrid Assistive Limb) yang merupakan teknologi canggih neurorobotics dari Jepun. Teknologi ini digunakan untuk merawat kecederaan saraf tunjang atau otak ini adalah yang pertama di rantau Asia Tenggara, dan yang keempat di dunia.\n4. Rehabilitasi Vokasional \nLatihan kemahiran yang ditawarkan bermatlamat untuk mengembalikan individu ke alam pekerjaan setelah mengalami hilang upaya. Latihan dirangka agar bersesuaian dengan situasi individu yang masih dalam proses rawatan. Antara modul yang disediakan, termasuklah jahitan, bakeri dan kulinari, elektrik dan elektronik, rekaan grafik dan cetakan, kraf tangan, dandanan rambut, adaptive clothing workshop, pengurusan pejabat, dan kemahiran komputer.\nProjek yang menelan belanja besar ini nyata bukan hangat-hangat tahi ayam. Prasarana dan peralatan berteknologi tinggi yang bertaraf tahap pencapaian (state-of-the-art) bukan sahaja membolehkan proses rehabilitasi dijalankan dengan lebih berkesan, malah dapat menjamin kecekapan kos rehabilitasi.\nPenulis berpeluang menyaksikan cara tenaga profesional dari pelbagai disiplin mengendalikan pusat tersebut berinteraksi dengan para pesakit dalam suasana segar, cergas dan positif. Keadaan ini pastinya berupaya mempercepat proses rehabilitasi individu.\nKejayaan Pusat Rehabilitasi PERKESO di Melaka ini juga menarik perhatian Sultan Perak, Sultan Nazrin\u00a0Muizzuddin\u00a0Shah\u00a0semasa lawatan baginda pada tahun 2020. Baginda memperkenankan pembinaan sebuah lagi pusat rehabilitasi seumpamanya di Ipoh, Perak.\nPusat baharu yang dikenali sebagai Pusat Rehabilitasi Neurorobotics and Cybernics Kebangsaan ini bakal menggunakan lebih banyak teknologi robotik terkini dari Jepun dalam program rawatannya. Projek yang menelan belanja sebanyak RM654 juta ini dijangka siap secara berperingkat pada hujung tahun 2024, sekali gus menjadikannya pusat rehabilitasi terbesar di rantau Asia Tenggara.\nIltizam dan niat murni PERKESO dalam memperjuangkan keterjaminan perlindungan keselamatan sosial negara, mula membuka mata banyak pihak. Semoga semakin banyak orang yang menyedari peri pentingnya kuasa insurans sosial dalam menjaga kebajikan masyarakat." "Inisiatif Projek Chuping Agro-Valley Prospek Baharu Ekonomi Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra\u00a0 Jamalullail bertitah agar sektor swasta dapat terus memainkan peranan utama menerusi kaedah pelaburan masing-masing untuk menjayakan projek baharu Chuping Agro-Valley (CAV) di negeri Perlis. Inisiatif\u00a0 ini amat bertepatan dengan dasar sekuriti makanan negara dan memerlukan penggunaan teknologi pertanian terkini serta kaedah pertanian moden. Baginda bertitah sebelum berangkat pulang ke tanah air dari negara Jepun semalam.\nMenteri Penasihat (Politik dan Ekonomi) di Kedutaan Besar Malaysia Tokyo, Salfarina Salim dan Setiausaha Ketiga (Konsular dan Protokol) Mohd Farriq Osman turut berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita untuk mempersembahkan ucapan selamat berangkat kepada baginda dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakandabaginda berdua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.\nSementara itu, dalam perkembangan yang berkaitan, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, Nor\u2019Azam Mohd Idrus memaklumkan bahawa perdagangan produk agromakanan antara Malaysia dan Jepun pada tahun 2021 direkodkan berjumlah USD1.21 billion dengan imbangan dagangan memihak kepada Malaysia iaitu \u2018surplus\u2019 USD896.93 juta. Peningkatan sebanyak 18.47%\u00a0 menunjukkan trend pemulihan dagangan agromakanan yang turut disokong oleh keyakinan terhadap jenama Malaysia termasuk melalui program yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI).\nBeliau menambah antara komoditi yang menjadi penyumbang utama kepada eksport agromakanan negara ke Jepun ialah sediaan makanan (USD44.11 juta), sediaan koko (USD163.6 juta), minyak/lemak (USD514.8juta), keratan bunga (USD72.9 juta) dan perikanan (USD31.9 juta). Selain HS Code tersebut, Jepun juga merupakan pengimport utama produk kayu kayan negara Malaysia berjumlah USD701 juta. Tambah beliau lagi, perdagangan agromakanan Malaysia-Jepun juga sangat baik dengan disokong oleh Malaysia Japan Economic Partnership Agreement (MJEPA) berkuatkuasa pada tahun 2005.\nSecara purata, perdagangan agromakanan Malaysia-Jepun melebihi USD 1 billion sejak tahun 2008. Walaupun prestasi dagangan Malaysia-Jepun agak mendatar berikutan persaingan dari negara-negara seperti Thailand, Vietnam, Indonesia, China dan Brazil, potensi perdagangan dengan Jepun kekal tinggi dengan peningkatan permintaan serta menjadikan Jepun sebagai \u2018global trading gateway\u2019 selari dengan kapasiti Jepun sebagai tuan rumah acara bertaraf antarabangsa seperti World Expo Osaka 2025, Aichi-Nagoya Asian Games 2026. Selain itu, Jepun juga sedang melobi untuk menjadi penganjur Winter Olympics 2030.\nSempena keberangkatan baginda ke negara Jepun kali ini, pihak MAIPs turut menyalurkan sumbangan wang zakat kepada Masjid Otsuka di Minami Otsuka Toshima-ku, Tokyo yang diterima oleh wakilnya daripada Japan Islamic Trust, Haroon Qureshi. Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan menerima mengadap Pengurus Kanan Koshigaya Environmental Management Office dari Saitama, Yasuakai Kawai." "Mengenal Konsep Koligasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata \u201ckoligasi\u201c berasal daripada kata bahasa Latin, iaitu colligare yang bermaksud \u201cterikat\u201d (tie up). Oleh itu, koligasi merujuk sejumlah kata yang terikat\u00a0 dengan fungsi sintaksis yang sama. Menurut Crystal, koligasi merujuk istilah tentang proses atau hasil penggolongan sejumlah kata berdasarkan persamaan dari segi hubungan sintagmatik (A term . for the process or result of grouping a set of words on the basis of their similarity in entering into syntagmatic grammatical relations \u2013 Crystal, 2008:86).\nKata-kata yang berkoligasi ialah kata-kata yang cenderung menjalin hubungan tatabahasa yang sama. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a.\u00a0 Dia bersiul.\n1b.\u00a0 Dia bernyanyi.\nDalam kelompok ayat 1, kata \u201cbersiul\u201d dan \u201cbernyanyi\u201d mempunyai hubungan sintagmatik yang sama, iaitu berkoligasi sebagai kata kerja tak transitif tanpa pelengkap.\nWalau bagaimanapun, terdapat sejumlah kecil kata kerja tak transitif yang boleh diikuti pelengkap tak wajib. Sila lihat contoh yang berikut:\n2a.\u00a0 Dia bermain.\n2b.\u00a0 Dia bersiul.\n\u00a0\n3a.\u00a0 Dia bermain bola.\n3b.\u00a0 *Dia bersiul lagu.\n\u00a0\n4a.\u00a0 Dia belajar.\n4b.\u00a0 Dia bernyanyi.\n\u00a0\n5a.\u00a0 Dia belajar muzik.\n5b.\u00a0 *Dia bernyanyi lagu.\n\u00a0\nDalam kelompok ayat 2, kata \u201cbermain\u201d dan \u201cbersiul\u201d berfungsi sebagai kata kerja tak transitif tanpa pelengkap. Namun demikian, dalam kelompok ayat 3, kata \u201cbermain\u201d boleh diikuti pelengkap tak wajib \u201cbola\u201d tetapi kata \u201cbersiul\u201d tidak boleh diikuti sebarang pelengkap. Dalam kelompok ayat 4, kata \u201cbelajar\u201d dan \u201cbernyanyi\u201d berfungsi sebagai kata kerja tak transitif tanpa pelengkap. Walau bagaimanapun, dalam kelompok ayat 5, kata \u201cbelajar\u201d boleh diikuti pelengkap tak wajib \u201cmuzik\u201d tetapi kata \u201cbernyanyi\u201d tidak boleh diikuti sebarang pelengkap. Oleh itu, kata \u201cbermain\u201d berkoligasi dengan kata \u201cbelajar\u201d tetapi tidak berkoligasi dengan kata kerja tak transitif yang lain.\nWalaupun kata kerja tak transitif dengan pelengkap tak wajib \u201cbermain\u201d dan \u201cbelajar\u201d dapat berada pada kedudukan sintagmatik yang sama dengan kata kerja transitif, kata \u201cbermain\u201d dan \u201cbelajar\u201d tidak diikuti objek dan tidak dapat dipasifkan. Sila lihat contoh yang berikut:\n6a.\u00a0 Dia belajar muzik.\n6b.\u00a0 Dia mempelajari muzik.\n6c.\u00a0 Dia belajar.\n6d.\u00a0 *Dia mempelajari.\n\u00a0\n7a.\u00a0 Dia bermain lembing.\n7b.\u00a0 Dia memainkan lembing.\n7c.\u00a0 Dia bermain.\n7d.\u00a0 *Dia memainkan.\nWalaupun pada dasarnya, semua kata bantu ragam menyatakan ragam perasaan tetapi penggunaannya dalam ayat aktif dan pasif mungkin berbeza. Sila lihat contoh yang berikut:\n8a.\u00a0 Dia harus membaca buku.\n8b.\u00a0 Dia mesti membaca buku.\n8c.\u00a0 Dia dapat membaca buku.\n8d.\u00a0 Dia boleh membaca buku.\n8e.\u00a0 Dia mungkin membaca buku.\n8f.\u00a0 \u00a0Dia patut membaca buku.\n8g.\u00a0 Dia suka membaca buku.\n8h.\u00a0 Dia cuba membaca buku.\n8i. \u00a0\u00a0Dia hendak membaca buku.\n8j.\u00a0\u00a0 Dia mahu membaca buku.\n8k.\u00a0 Dia ingin membaca buku.\n8l. \u00a0\u00a0Dia enggan membaca buku.\nSekali imbas, semua contoh kata kerja bantu ragam di atas berkoligasi, iaitu terikat (allied) dengan kata kerja aktif transitif. Namun begitu, lainlah halnya dalam binaan ayat pasif. Sila lihat contoh yang berikut:\n9a.\u00a0 Buku harus dibaca olehnya.\n9b.\u00a0 Buku mesti dibaca olehnya.\n9c.\u00a0 Buku dapat dibaca olehnya\n9d.\u00a0 Buku boleh dibaca olehnya.\n9e.\u00a0 Buku mungkin dibaca olehnya.\n9f.\u00a0\u00a0 Bulu patut dibaca olehnya.\n\u00a0\n10a.\u00a0 *Buku suka dibaca olehnya.\n10b.\u00a0 *Buku cuba dibaca olehnya.\n10c.\u00a0 *Buku hendak dibaca olehnya.\n10d.\u00a0 *Buku mahu dibaca olehnya.\n10e.\u00a0 *Buku ingin dibaca olehnya.\n10f.\u00a0\u00a0 *Buku enggan dibaca olehnya.\nDalam kelompok ayat pasif 9, penggunaan kata bantu ragam \u201charus\u201d, \u201cmesti\u201d, \u201cdapat\u201d, \u201cboleh\u201d, \u201cmungkin\u201d dan \u201cpatut\u201d adalah betul. Oleh itu, kata-kata bantu ragam itu berkoligasi dalam binaan ayat pasif. Namun demikian, dalam kelompok ayat 10, penggunaan kata bantu ragam \u201csuka\u201d, \u201ccuba\u201d, \u201chendak\u201d, \u201cmahu\u201d, \u201cingin\u201d, dan \u201cenggan\u201d dalam ayat pasif mendatangkan maksud yang kabur, iaitu \u201cbuku\u201d seolah-olah menjadi organisma hidup yang ada perasaan seperti manusia. Oleh itu, kata-kata bantu ragam tersebut berkoligasi, iaitu tidak boleh digunakan dalam ayat pasif.\nPemahaman tentang konsep koligasi adalah penting kerana hal demikian membolehkan kita mengenal tatabahasa sesuatu bahasa dengan lebih mendalam." "Laman Agro-Food Florikultur Bersempena dengan MAHA 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) menganjurkan Majlis Prapelancaran Laman Agro\u2013Food Florikultur bersempena dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022. Laman Agro\u2013Food Florikultur berkonsepkan Miracle Garden yang menonjolkan keindahan landskap pelbagai jenis kombinasi bunga yang unik dan tanaman dapat dimakan (edible) yang menyegarkan melalui pertanian pintar untuk dinikmati oleh para pengunjung.\n\nMenurut Ketua Pengarah Pertanian, Dato\u2019 Zahimi Hassan, elemen etnobotani, bungaan produktif dan estetik serta tanaman edible diterapkan melalui lapan konsep taman bagi menceriakan Laman Agro\u2013Food Florikultur, iaitu Rainbow Garden, Vertical Garden, Sunflower Garden, Tropical Garden, Petunia Garden, Orchid Garden, Urban Garden, dan Teratai Garden.\n\u201cJabatan Pertanian juga menyediakan rerurai jualan pelbagai benih tanaman dan anak pokok, pameran bunga premium dan terrarium, kuiz, dan permainan, demonstrasi hasilan bunga dan hiburan santai kepada para pengunjung. Laman ini juga mendapat kerjasama dan kolaborasi empat rakan padanan bagi pengisian aktiviti dan program, iaitu Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Perbadanan Putrajaya, dan POS Malaysia Berhad yang mengeluarkan setem edisi terhad berlogo MAHA 2022,\u201d jelas beliau.\nSelain itu, DOA juga mengetengahkan Program Pertanian Komuniti (Kebuniti) yang bertujuan menggalakkan penduduk di bandar dan di luar bandar bercucuk tanam dengan tanaman sayur-sayuran kegunaan harian, antaranya termasuklah cili, kunyit, halia, kubis, sawi, bayam dan salad.\nInisiatif Jabatan Pertanian melalui program ini mampu menjimatkan perbelanjaan dapur dan sekali gus mengurangkan kos sara hidup rakyat. Sebagai simbolik Majlis PraPelancaran Laman Agro-Food Florikultur, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, YB Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Haji Salleh menyampaikan kit pertanian bandar kepada 10 orang penerima yang mewakili komuniti penduduk Putrajaya. Turut hadir pada majlis hari ini ialah YBhg. Dato\u2019 Eliyas Saad, Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pembangunan Industri dan Pengembangan) dan Puan Nor Sam Alwi, Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pengurusan dan \u00a0Regulatori).\nMAHA 2022 akan berlangsung dari 4 Ogos hingga 14 Ogos 2022 di MAEPS Serdang. Kunjungilah Miracle Garden di Laman Agro\u2013Food Florikultur." "Kerajaan Komited Selesaikan Masalah Pengambilan Pekerja Asing dan Sekuriti Makanan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0 Perdana Menteri Malaysia, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan kekal komited bagi mendepani isu dan cabaran pengambilan pekerja asing\u00a0dengan mengambil beberapa pendekatan berikut:\nPertama, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama pihak industri, persatuan perniagaan dan pihak berkenaan mengadakan pertemuan secara bersemuka bagi menyelesaikan isu-isu pengambilan pekerja asing sehingga penghujung bulan Julai ini.\nKedua, para majikan digesa untuk mempertimbangkan pengambilan pekerja asing dari negara sumber yang telah diluluskan dan tidak bergantung kepada negara sumber tradisi sahaja.\nKetiga, KSM digesa mempercepatkan pelaksanaan proses temuduga majikan dengan menambah bilangan penemu duga di One Stop Centre (OSC) mengikut zon dan negeri-negeri.\nProgram MyMudah\u00a0yang dilaksanakan pada peringkat kementerian oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah untuk mengurangkan kerenah birokrasi. Namun, masih banyak rungutan diterima daripada pihak industri. Oleh itu, MPC diminta menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan kerenah birokrasi melalui pengukuhan program MyMudah.\nSebanyak 30% isu yang diterima melalui MyMudah diselesaikan dalam masa kurang daripada 60 hari seperti yang disasarkan. Sehubungan dengan \u00a0itu, kerajaan turut menggesa MPC berusaha untuk menyelesaikan kes-kes kompleks dalam tempoh 60 hari.\nMPC menyegerakan penubuhan Unit MyMudah bagi kementerian yang belum melaksanakannya. Tumpuan juga perlu diberikan kepada penubuhan MyMudah pada peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam memastikan isu-isu birokrasi pada peringkat tersebut dapat ditambah baik.\nKementerian Pertanian dan Industri Makanan diminta melaksanakan program-program berkaitan dengan sekuriti makanan negara yang telah dipersetujui kerajaan dengan segera.\nKerajaan sentiasa berusaha memastikan permasalahan yang dihadapi oleh pemain industri diselesaikan dengan segera melalui usaha sama oleh semua pihak bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia secara inklusif dan menyeluruh" "Kerajaan Semak Semula Keutamaan Projek Pembangunan RMK-12\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "MIDF Research Kekal Positif terhadap Prospek Sektor Pembinaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPekerja pembinaan dari Indonesia lebih diberi keutamaan kerana mereka merupakan pekerja yang lebih berkemahiran berbanding pekerja dari negara lain. \u201cMemandangkan Indonesia membekukan pengambilan pekerja secara sementara, kami percaya bahawa keutamaan akan diberikan kepada pekerja dari Bangladesh selain negara lain yang berada dalam senarai syarikat pembinaan. \u201cKami optimis bahawa isu pembekuan pengambilan pekerja dari Indonesia boleh diselesaikan secara baik antara kedua-dua kerajaan,\u201c ujar wakil MIDF Research." "Harga Rumah Dijangka Naik 11.8%\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Juwai IQI, Kashif Ansari menyatakan bahawa kaji selidik yang dijalankan terhadap ejen hartanah di seluruh negara mendapati harga rumah dan sewa akan meningkat dengan ketara dalam tempoh tersebut sekali gus merangsang peningkatan aktiviti dalam sektor hartanah. Dalam senario ini, mereka yang memiliki rumah akan menikmati faedah daripada kenaikan nilai, sebaliknya bagi yang menyewa atau mahu membeli rumah akan menyaksikan perbelanjaan mereka meningkat.\nKaji selidik itu mendedahkan industri hartanah menjangkakan pertumbuhan harga kediaman yang ketara dalam tempoh 24 bulan akan datang. Ejen hartanah percaya hartanah kediaman akan meningkat sebanyak 11.8% di seluruh negara dalam tempoh 12 bulan akan datang. Pertumbuhan akan berterusan pada tahun berikutnya dengan harga berakhir pada 16.5% lebih tinggi dalam tempoh 24 bulan akan datang." "Pasaran Pekerjaan Malaysia Tumbuh 31% pada Jun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nWalaupun berlaku sekatan sebelum ini dan kenaikan harga barang serta kekurangan tenaga pekerja, industri peruncitan Malaysia bergerak ke arah pemulihan dengan baik selepas merekodkan pertumbuhan sebanyak 321% tahun ke tahun dalam aktiviti pekerjaan pada Jun 2022. Selain itu, jualan runcit di negara ini diunjurkan berkembang pada kadar sebanyak 25.7% pada suku semasa.\nKetua Pegawai Eksekutif Monster.com \u2013 APAC & Gulf, Sekhar Garisa menyatakan bahawa kebanyakan syarikat sedang meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja mahir dalam bidang digital bagi memenuhi keperluan pada peringkat global. \u201cPasaran pekerjaan di Malaysia telah mula mencatatkan pengembangan terutama sektor yang terjejas teruk sebelum ini seperti pelancongan, hospitaliti dan peruncitan. \u201cDengan cara kerja yang lebih fleksibel dalam pasaran pekerjaan, kami optimis untuk melihat ia terus berkembang pada masa akan datang.\u201c\u00c2" "i-Biaya Beri Peluang Pekerja Ekonomi Gig Miliki Rumah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Kadar Inflasi Tahunan UK Cecah 9.4% yang Tertinggi dalam Tempoh 40 Tahun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Harga Runcit RON97 Turun 10 sen, RON95 dan Diesel Kekal\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Kerajaan Sasar Penjimatan RM5 Bilion Hingga RM6 Bilion daripada Baki Peruntukan Mengurus Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBeliau menyatakan bahawa penjimatan tersebut melibatkan beberapa perkara antaranya pengurangan pembelian barangan import dan perbelanjaan ke luar negara. \u201cNilai lima peratus itu tidak besar mana, malah kalau dilihat dalam Bajet 2022, perbelanjaan kita ialah RM332 bilion, perbelanjaan pembangunan pada tahun ini sebanyak RM75 bilion, subsidi mencecah RM77.7 bilion dan kita menjangka mungkin mencecah RM80 bilion.\u201c" "Bahasa Melayu Membentuk Perpaduan Bangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebuah forum khas yang membincangkan isu \u201cAdakah Bahasa Kebangsaan Berjaya Menjadi Alat Perpaduan?\u201c telah diadakan pada 8 Februari 2022, bersempena dengan Minggu Keharmonian antara Penganut Agama Sedunia. Forum yang dianjurkan oleh Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan atau Allied Coordinating of Islamic Ngo\u2019s (ACCIN), telah menjemput tiga orang tokoh yang berpengaruh, iaitu YB Dr. Maszlee Malik (mantan Menteri Pendidikan yang merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam),\u00a0Prof. Emeritus Dato\u2019 Dr. Teo Kok Seong (Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, dan\u00a0Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan (Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka, yang merangkap Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM).\u00a0\nPengerusi ACCIN yang merangkap penerbit program, iaitu Ir. Mohd Jamaludin Mohamed Shamsudin membuka pentas forum tersebut dengan ucapan pembukaannya sebelum diambil alih oleh pemudah cara forum, iaitu Encik Amin Idris. Forum tersebut berlangsung secara dalam talian melalui laman Facebook ACCIN.\nDr. Maszlee Malik menjadi panel pertama yang mengemukakan pandangannya. Menurut beliau, terdapat dua isu utama dalam perbincangan ini, iaitu bahasa kebangsaan sebagai identiti masyarakat Malaysia dan yang keduanya ialah perpaduan. Katanya lagi, isu ini di Malaysia merupakan satu proses yang sedang berjalan walaupun negara telah mempunyai dasar yang jelas berkaitan dengan bahasa kebangsaan melalui Perlembagaan Persekutuan.\nIsu bahasa memerlukan satu debat terbuka manakala dalam isu perpaduan, bahasa bukanlah satu-satunya alat yang membentuk perpaduan kerana banyak negara yang menggunakan bahasa yang sama masih berpecah-belah akibat wujudnya semangat berpuak-puak dalam kalangan masyarakat.\nMenurut beliau lagi, sudah tiba masanya ahli politik yang menguasai kerajaan pada masa ini membuat dasar baharu yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan terutamanya dalam menjayakan fungsinya sebagai alat perpaduan di negara ini. Hal ini demikian kerana masih banyak pelajar terutamanya pelajar bukan Melayu gagal menguasai bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan negara ini.\nBeliau turut menyarankan agar mewujudkan satu libat urus dan mengambil pandangan serta menyakinkan pelbagai golongan seperti golongan muda, golongan korporat dan sebagainya untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.\nSementara itu, Prof. Emeritus Dato\u2019 Dr. Teo Kok Seong pula menyatakan bahawa bahasa Melayu masih gagal menjadi alat perpaduan. Menurutnya, setelah 64 tahun merdeka, tahap perpaduan negara hanya sekadar kesepaduan sosial. Perpaduan yang wujud pada tahap sosial mempunyai tiga ciri penting, iaitu pergaulan terhad untuk sesuatu fungsi sahaja, perkenalan antara kaum hanya sekadar asas sahaja dan saling mencurigai antara kaum. Beliau juga menyeru rakyat Malaysia untuk melihat kembali dasar dalam sistem pendidikan negara agar bahasa mampu menjadi alat penyatu masyarakat.\nKita harus melihat punca Malaysia gagal kerana terbukti bahawa bahasa mempunyai kuasa menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan etnik sebagaimana negara lain seperti di Indonesia dan Jepun.\nTambahnya lagi, pelajar pada hari ini terutamanya kaum bukan Melayu belajar bahasa kebangsaan hanya untuk lulus peperiksaan sedangkan bahasa Melayu perlu dipelajari sebaik-baik mungkin untuk menjadi sebahagian daripada komuniti bahasa Melayu.\nBeliau turut menganggap bahawa bahasa Melayu gagal sebagai alat perpaduan di Malaysia kerana wujudnya sekolah vernakular yang menyebabkan pelajar bukan Melayu gagal menguasai bahasa kebangsaan dengan baik. Hal tersebut secara tidak langsung menyebabkan mereka hanya bergaul dalam kalangan kaum mereka sahaja.\nProf. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan pula berpendapat bahawa bahasa sememangnya dicipta oleh Allah SWT sebagai satu medium perpaduan. Bahkan keutamaan untuk membina sebuah negara berdaulat mempunyai beberapa asasnya termasuklah dari aspek bahasa. Dasar bahasa negara ini sememangnya telah tersedia cantik namun pelaksanaannya yang masih kurang dalam pelbagai aspek menyebabkan peranannya sebagai alat perpaduan masih kurang berjaya.\nBahasa kebangsaan bukanlah sepenuhnya gagal menjadi alat perpaduan di negara ini tetapi pelbagai faktor seperti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menyebabkannya kurang berkesan sebagai alat perpaduan.\nBeliau berpandangan bahawa bahasa Melayu tidak gagal sepenuhnya sebagai alat perpaduan di negara ini. Dalam isu ini, aspek pemupukan perlu dititikberatkan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Menurutnya lagi, kesungguhan untuk memuliakan bahasa Melayu sebagai asas jati diri masih belum cukup kuat dan mencadangkan agar satu penyelidikan berkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu dijalankan di negara ini." "Bursa Malaysia Terus Catat Trend Kenaikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "IPP Malaysia Meningkat 4.1% pada Mei 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Jumlah Trafik Udara Meningkat 83.1% pada Mei 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJumlah RPK pada Mei 2022 mencapai 68.7% daripada paras Mei 2019, sekali gus merupakan prestasi terbaik setakat ini pada tahun 2022 berbanding perjalanan sebelum pandemik COVID-19.\nKetua Pengarah IATA, Willie Walsh menyatakan bahawa \u201cPemulihan perjalanan terus meraih momentum berikutan orang ramai perlu melakukan perjalanan selepas kerajaan menamatkan sekatan COVID-19 kerana banyak kawasan laluan antarabangsa utama, termasuklah di Eropah dan laluan Timur Tengah-Amerika Utara dibuka selepas sekatan COVID-19 dilonggarkan." "AIM Raih Anugerah Transaksi MyDebit Tertinggi Sektor Kerajaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAIM berjaya menewaskan beberapa agensi lain atas kecemerlangannya dalam pengurusan kewangan tanpa tunai terutamanya dalam segmen pembayaran balik pinjaman mikro kredit oleh Sahabat Usahawan. AIM berjaya menerima anugerah tersebut buat kali kelima sejak agensi itu memperkenalkan transaksi MyDebit dalam pengurusan kewangannya beberapa tahun lalu." "Harga Ayam Lebih Murah di Putrajaya pada Ogos\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Coway Menerima Penarafan AA oleh ESG MSCI\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u2013 Coway Co., Ltd., Syarikat Best Life Solution menerima taraf AA dalam penarafan alam sekitar, sosial dan tadbir urus atau environmental, social and governance (ESG) MSCI 2022 bagi tahun kedua berturut-turut selepas penilaian terhadap inisiatif ESG syarikat.\nMSCI memberikan penarafan ESG menurut skala daripada AAA (pemimpin) kepada CCC (terendah) berasaskan analisisnya terhadap inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus syarikat. Penarafan ESG oleh MSCI merupakan indeks global bagi pelaburan ESG di samping FTSE4Good dan DJSI.\nCoway menerima penarafan ESG MSCI kedua tertinggi, iaitu AA yang mengesahkan kedudukan utama syarikat dalam usaha menangani isu-isu ESG bagi industri barangan isi rumah. Penilaian cemerlang ini dicapai, terutamanya dengan tadbir urus korporat dan pengurusan sisa elektronik yang kukuh.\nCoway melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membuktikan komitmennya kepada alam sekitar, sosial dan tadbir urus. Pada tahun 2006, syarikat tersebut mengumumkan sasaran untuk mencapai pengeluaran karbon bersih sifar menjelang tahun 2050 dan mengurangkan emisi gas rumah hijau sebanyak 50% menjelang tahun 2030. Pada tahun lepas, Coway menubuhkan Jawatankuasa ESG di bawah Lembaga Pengarah untuk melaksanakan pengurusan ESG secara strategik.\nCoway melaksanakan pelbagai usaha untuk mengurangkan kesan alam sekitar sepanjang kitaran hayat produk daripada reka bentuk kepada pembangunan, jualan, penyesuaian semula kegunaan dan kitar semula. Inisiatif tersebut termasuk pembangunan produk mesra alam, penggunaan tenaga boleh diperbaharui, program pengambilan semula sisa, dan kitar semula sumber.\nPada tahun 2021, Coway berjaya mengurangkan sebanyak 104.4 tan emisi GHG dengan menjanakan tenaga solar boleh diperbaharui. Coway juga mengitar semula sebanyak 99% sisa yang dihasilkan daripada produk, perkhidmatannya dan perniagaannya menerusi sistem kitar semula dan baik pulih. Di samping itu, langkah menggunakan bahan kitar semula dalam pembangunan produk membawa kesan ketara kepada usaha mengurangkan penggunaan sumber.\nWakil Coway berkata, \u201cKami melaksanakan pengurusan ESG secara menyeluruh di peringkat syarikat untuk mencapai sasaran kewangan dan juga memenuhi tanggungjawab alam sekitar dan sosial kami. Kami akan terus menambah baik sistem pengurusan ESG kami demi masa depan yang lebih lestari.\u201d\nDi samping Penarafan MSCI, Coway juga tersenarai dalam Indeks DJSI World bagi tahun keenam berturut-turut dan dalam Indeks FTSE4Good 2021. Coway menerima Penarafan A ESG daripada Perkhidmatan Tadbir Urus Korporat Korea (KCGS) bagi tahun ketiga berturut-turut pada tahun 2021.\nUntuk butiran lanjut, sila layari www.sustainability.coway.co.kr." "Lang International Corporate Titan Awards 2021 Pengiktirafan kepada Perusahaan Cemerlang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Majlis penganugerahan Lang International Corporate Titan Awards (LICTA) 2021 berlangsung gilang-gemilang pada malam ini di Grand Ballroom, Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur. \nMajlis berprestij tersebut dirasmikan oleh YB Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang). Majlis berprestij ini turut dihadiri oleh YB Dato\u2019 Haji Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat; YBhg. Dato\u2019 Lee Chee Weng, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan LICTA; Dato\u2019 Sri Syed Hussein Al Habshee, Pengerusi SME Corporation Malaysia (SME Corp); Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); dan YB Senator Datuk Seri Zurainah Musa, Ahli Dewan Negara merangkap Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).\nDato Sri Dr. Haji Wan Junaidi menerusi ucapan perasmiannya menyatakan bahawa LICTA ialah jambatan penghubung atau pintu rezeki kepada semua usahawan. Beliau turut menggalakkan lebih banyak usahawan bumiputera menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan dan mengambil peluang dengan memanfaatkan penggunaan teknologi digital.\n\n\n\n\u201cKerajaan akan memberikan sokongan yang kuat kepada semua usahawan memandangkan tahun 2021 merupakan tahun krtikal kerana pandemik COVID-19 yang menjejaskan pelbagai sektor di seluruh dunia yang turut menjejaskan golongan usahawan dan perniagaan mereka,\u201cujar beliau. Tambah beliau lagi:\nEra globalisasi ini merupakan cabaran kepada semua usahawan. Oleh hal yang demikian, bagi melestarikan bidang keusahawanan, para usahawan perlu menyahut cabaran ini dengan melakukan reformasi terhadap model perniagaan masing-masing. Hal ini dapat dilakukan dengan memfokuskan persekitaran, sosial dan tadbir urus atau environmental, social, and governance (ESG).\nDalam ucapan alu-aluan pula, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran mengucapkan tahniah kepada tunjang utama LICTA, YBhg. Dato\u2019 Lee Chee Weng atas usaha beliau menjayakan majlis berprestij, LICTA 2021. Beliau juga mengucapkan syabas kepada para pemenang dan peserta LICTA 2021.\nMenurut Datuk Abang Sallehuddin yang juga merangkap Pengerusi Urus Setia LICTA 2021, DBP turut membantu mempromosikan usahawan yang berjaya. Hal ini demikian kerana DBP yakin akan peranan penting dan pengaruh ahli korporat dan usahawan dalam usaha menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu di dalam negara dan di luar negara. Dengan jumlah penutur bahasa Melayu yang tidak kurang daripada 300 juta orang di seluruh dunia, secara tidak langsung berupaya mengangkat nilai ekonomi bahasa Melayu. Beliau turut berharap agar para usahawan menjadikan agenda dan matlamat untuk memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah negara berbudaya di luar negara.\nTurut hadir dalam majlis tersebut ialah YBhg. Haji Zazali Haron, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia; Datuk Wira (Dr.) Rosli Mat Hassan, Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Koperasi Malaysia;\u00a0 Tan Sri Dato\u2019 Chang Ko Youn Pengerusi Malaysia Hawker and Trader Foundation (YPPKM); Tuan Rizal Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp.); Tuan Zaky Moh, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., dan Tuan Yahaya Sani, Pengarah Pembangunan Usahawan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kementerian Pembangunan Luar Bandar.\nRY" "Dewan Ekonomi Raikan Keunggulan Lang International Corporate Titan Awards 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Lang International Corporate Titan Awards (LICTA) 2021 memberikan pengiktirafan kepada perusahaan yang \u201cCemerlang, Tulen dan Boleh Dipercayai\u201c dan dijulang sebagai perusahaan \u201cDi Mercu Keunggulan\u201d mengikut kategori dalam bidang masing-masing. Melalui usaha dan pengiktirafan ini, LICTA akan menjadi sumber rujukan yang dipercayai dalam kalangan rakan perniagaan, pelabur, bank, dan sebagainya.\nDemikian ucap YB\u00a0Dato\u2019 Haji Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Penasihat LICTA 2021 dalam majlis penganugerahan LICTA 2021 yang berlangsung malam tadi di Grand Ballroom, Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur.\n\u201cSaya\u00a0 mengucapkan tahniah kepada\u00a0 YBhg. Dato\u2019 Lee Chee Weng, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan LICTA atas usaha beliau untuk menjayakan LICTA 2021. LICTA 2021 yang memasuki tahun keempat penganjurannya akan menjadi sumber rujukan yang dipercayai dalam kalangan rakan perniagaan, pelabur, pihak bank, dan sebagainya.\u201c\n\u201cSaya juga mengucapkan syabas kepada para peserta dan pemenang LICTA 2021. LICTA merupakan platform yang mengupayakan sumber yang terdiri daripada mereka yang berpengetahuan tinggi, bermaklumat dan mempunyai hubungan rangkaian korporat dan kerajaan yang jelas dalam usaha membangunkan ekosistem keusahawanan yang lestari.\u201c\nDato\u2019 Haji Mohd. Rashid turut menyentuh Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) yang merupakan strategi jangka panjang negara dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan (entrepreneurial nation) yang unggul menjelang tahun 2030. Dasar ini akan bertindak sebagai pemangkin pencapaian Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu, makmur, bermaruah dan terus membangun secara mapan dengan pengagihan ekonomi yang lebih adil dan inklusif, seterusnya muncul sebagai paksi ekonomi Asia.\nMenurut beliau, penganjuran LICTA merupakan inisiatif yang memberikan impak yang besar dan dilihat sangat relevan dalam menjayakan lima objektif utama DKN. Antara objektif utama DKN termasuklah mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi Malaysia yang inklusif, seimbang serta mapan, dan meningkatkan bilangan usahawan negara yang berkualiti, berdaya maju, berdaya tahan, berfikiran global, dan kompetitif.\nDato\u2019 Haji Mohd. Rashid juga mengucapkan tahniah kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang turut membantu membuat liputan majlis anugerah yang berprestij itu yang disiarkan melalui pelantar digital, JendelaDBP di laman majalah Dewan Ekonomi yang boleh dilayari di jendeladbp.my.\nJendelaDBP merupakan pusat sehenti digital bagi menyebarluaskan maklumat berkaitan dengan bahasa, sastera, penerbitan, ekonomi, sains, teknologi, dan bidang lain dalam usaha memartabatkan penerbitan berbahasa Melayu.\nBeliau berharap agar pihak media turut membantu menonjolkan syarikat atau perusahaan yang dijulang sebagai \u201cdi mercu keunggulan\u201d dalam bidang masing-masing menerusi penyiaran berita dan ruang-ruang lain sebagai suntikan motivasi, khususnya kepada para usahawan dan penggerak perusahaan tempatan agar sentiasa berdaya saing dan berusaha mencipta kejayaan cemerlang." "17 Syarikat Terima Dana dalam Lang International Corporate Titan Awards 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Lang International Corporate Titan Awards (LICTA)\u00a02021 yang berlangsung malam tadi di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur menyaksikan 11 buah syarikat terpilih menerima dana daripada pihak berwewenang. Cek cura (mock cheque) disampaikan oleh YBhg. Dato\u2019 Sri Syed Hussien Al Habshee, Pengerusi SME Corp.\nSyarikat penerima cek cura LICTA 2021, antaranya termasuklah:\nMajlis berprestij tersebut dirasmikan oleh YB Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang). Majlis berprestij ini turut dihadiri oleh YB Dato\u2019 Haji Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat; YBhg. Dato\u2019 Lee Chee Weng, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan LICTA; Dato\u2019 Sri Syed Hussein Al Habshee, Pengerusi SME Corporation Malaysia (SME Corp); Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP);\u00a0 YB Senator Datuk Seri Zurainah Musa, Ahli Dewan Negara merangkap Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS);\u00a0 YBhg. Haji Zazali Haron, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia;\u00a0 Datuk Wira (Dr.) Rosli Mat Hassan, Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Koperasi Malaysia;\u00a0 Tan Sri Dato\u2019 Chang Ko YounPengerusi Malaysia Hawker and Trader Foundation (YPPKM); Tuan Rizal Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp.); Tuan Zaky Moh, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., dan Tuan Yahaya Sani, Pengarah Pembangunan Usahawan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kementerian Pembangunan Luar Bandar." "LICTA Iktiraf Perusahaan \u201cDi Mercu Keunggulan\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Lang International Corporate Titan Awards\u00a0 (LICTA) 2021 yang bertemakan \u201cDi Mercu Keunggulan\u201d berlangsung meriah malam tadi di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur.\nLICTA 2021 memberikan pengiktirafan kepada perusahaan yang \u201cCemerlang, Tulen dan Boleh dipercayai\u201c dan dijulang sebagai perusahaan \u201cDi Mercu Keunggulan\u201d mengikut kategori dalam bidang masing-masing. Melalui usaha dan pengiktirafan ini, LICTA akan menjadi sumber rujukan yang dipercayai dalam kalangan rakan perniagaan, pelabur, bank, dan sebagainya.\nMajlis berprestij tersebut dirasmikan oleh YB Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang). Majlis berprestij ini turut dihadiri oleh YB Dato\u2019 Haji Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat; YBhg. Dato\u2019 Lee Chee Weng, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan LICTA; Dato\u2019 Sri Syed Hussein Al Habshee, Pengerusi SME Corporation Malaysia (SME Corp); Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP);\u00a0 YB Senator Datuk Seri Zurainah Musa, Ahli Dewan Negara merangkap Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS);\u00a0 YBhg. Haji Zazali Haron, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia;\u00a0 Datuk Wira (Dr.) Rosli Mat Hassan, Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Koperasi Malaysia;\u00a0 Tan Sri Dato\u2019 Chang Ko YounPengerusi Malaysia Hawker and Trader Foundation (YPPKM); Tuan Rizal Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp.); Tuan Zaky Moh, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., dan Tuan Yahaya Sani, Pengarah Pembangunan Usahawan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kementerian Pembangunan Luar Bandar.\nLICTA menjadi majlis anugerah berprestij sejak tahun 2018. Perkataan \u201clang\u201d diambil daripada perkataan Bahasa Melayu, \u201chelang\u201d. L.A.N.G. merupakan akronim bagi lead (memimpin), accelerate (menggalakkan), nurture (memupuk), dan growth (berkembang).\nLagak helang ialah lambang kepada keberanian seperti kata pujangga, \u201csemua burung mencari tempat berlindung ketika hujan, tetapi helang menghindari hujan dengan terbang di atas awan\u201c. Keberanian ialah kunci kejayaan.\nLICTA 2021 menyaksikan sebanyak 42 buah syarikat menerima anugerah istimewa mengikut kategori dan bidang perniagaan masing-masing. Penjurian pada kali ini dibuat berdasarkan kuantiti dan kualiti yang memenuhi lima kriteria, iaitu:\nPenerima LICTA 2021 adalah seperti yang berikut:\nAnugerah Berlian \nAnugerah \u00a0Lion Cub\nAnugerah Platinum \nAnugerah Emas \nAnugerah Sahabat Penggalak Usahawan" "Linguistik Membentuk Kebijaksanaan Akal Budi Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebuah wacana yang bertajuk \u201cLinguistik dalam Kehidupan\u201c telah disiarkan secara dalam talian menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada pukul 10.00 pagi tadi. Program ini merupakan anjuran Bahagian Penyelidikan Bahasa, DBP, yang secara khusus membicarakan tentang bidang linguistik secara spesifik. Felo Tamu Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaludin merupakan pembicara yang dijemput dalam wacana ini manakala Felo Penyeldik ATMA, UKM, Dr. Junaini Kasdan pula bertindak selaku moderator.\nMenurut Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaludin, linguistik tidak sama dengan bahasa kerana linguistik merupakan ilmu yang membedah apa-apa juga bahasa secara saintifik. Linguistik mempunyai pelbagai peringkat dan bentuk, iaitu teras, aplikasi, mikro, makro dan multidisiplin. Dalam ilmu teras linguistik, terdapat lima elemen yang perlu diketahui, iaitu fonetik, fonologi, marfologi, sintaksis dan semantik. Antara kelima-lima elemen tersebut, semantik merupakan elemen terpenting dalam bidang linguistik.\nLingustik dalam kehidupan kita terbahagi kepada dua, iaitu teras dan aplikasi. Dalam teras, perbincangan akan melibatkan tatabahasa dan teoritis kerana setiap bahasa mempunyai sistemnya yang tersendiri. Aplikasi pula berkaitan dengan kehidupan seharian yang terbahagi kepada aspek semantik dan pragmatik atau yang keduanya pakej linguistik.\nTambah beliau, aspek semantik dan pragmatik pula terdiri daripada makna bukan lisan dan metafora. Penggunaan aspek ini perlu disesuaikan dengan golongan yang ingin berkomunikasi kerana pemahaman seorang kanak-kanak berbeza daripada seorang dewasa dan begitulah juga sebaliknya.\nUntuk memahami maksud dan makna dalam metafora yang ada dalam peribahasa pula, simpulan bahasa dan pantun memerlukan seseorang itu untuk mengasah mindanya. Kegagalan mentafsirkan makna metafora itulah yang membuatkan serangkap pantun pernah menjadi polemik di negara. Pakej linguistik pula berkaitan dengan aspek leksikografi atau perkamusan. Dalam perkamusan dan peristilahan pula memerlukan individu itu mengetahui tentang fonetik, fonologi, morfologi dan semantik selain peluasan makna. Peluasan makna sangat penting kerana evolusi bahasa sentiasa berlaku.\nMenurut beliau lagi, penggunaan bahasa yang betul sangat penting untuk pemahaman dan keyakinan masyarakat. Dalam kes COVID-19, pada mulanya istilah yang digunakan hanyalah menggunakan bahasa Inggeris. Namun begitu, setelah kes menular dalam kalangan komuniti, Kementerian Kesihatan Malaysia mula menggunakan bahasa Melayu bagi menggantikan istilah bahasa Inggeris tersebut dalam usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat betapa bahayanya wabak ini. Bahkan dialek yang merupakan salah satu daripada unsur linguistik digunakan dalam usaha menggalakkan masyarakat untuk mendapatkan vaksinasi di negara ini.\nPandemik yang berlaku di negara kita menyebabkan ada beberapa perkataan yang mengalami peluasan makna. Antaranya termasuklah perkataan \u201ckayangan\u201d. Jika mengikut ilmu semantik dan perkamusan, \u201ckayangan\u201c telah meluas maknanya dan bukan hanya tertakluk kepada golongan istana semata-mata bahkan merujuk orang yang banyak wang dan yang banyak kuasa. Bendera putih pula dikibarkan oleh orang yang terdesak memerlukan bantuan semasa pandemik.\nMenurut beliau lagi, semantik juga menekankan cara dan peraturan bagi yang ingin berkomunikasi. Seseorang itu perlu memastikan ujaran atau percakapannya ringkas, tepat dan padat bagi membolehkan pendengar memahami maklumat yang ingin disampaikan. Jika berlakunya percanggahan dalam ujaran akan menyebabkan kualiti penyampaian sesuatu maklumat itu diragui.\nTambah beliau, linguistik sebenarnya merupakan satu bidang yang boleh dimultidisiplinkan dengan pelbagai bidang lain seperti sejarah, perubatan, geografi, psikologi dan pelbagai lagi. Contohnya, dialek Negeri Sembilan di Kampung Lukut, Kota Tinggi yang menunjukkan bagaimana faktor sejarah, perantauan dan sosiobudaya menyebakan meluasnya dialek tersebut ke Johor.\nBeliau turut menyatakan bahawa bahasa ialah alat komunikasi tetapi linguistik pula ialah ilmu yang membedah bahasa. Jika mengetahui tentang ilmu linguistik, seseorang itu boleh menjelaskan dan mentafsirkan bahasa dengan lebih bernas." "Pertanian Pintar Penyelesaian kepada Sekuriti Makanan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0 \u2013 Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba hari ini telah mempengerusikan Sesi Libat Urus Pertanian Pintar (Smart Farming) bersama-sama pemegang taruh yang terdiri daripada wakil Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, jabatan, agensi, dan pihak industri.\nSebelum ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengenal pasti sebanyak 27 penyelesaian teknologi agropertanian yang tersedia untuk diperluaskan dan satu perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah diadakan di MOSTI pada 28 Jun 2022. Antara kekangan yang dikenal pasti termasuklah kos penggunaan teknologi yang tinggi dan pengadaptasian serta kadar penggunaan teknologi yang rendah oleh petani dan peladang.\nSejak memulakan inisiatif Bilik Gerakan Penyelesaian Teknologi MOSTI pada 10 Jun 2022, sebanyak 12 siri pertemuan dan mesyuarat telah diadakan dalam tempoh satu bulan bersama pemegang taruh dan pemain industri pertanian di beberapa lokasi yang bertujuan memperoleh maklum balas berhubung dengan teknologi yang boleh membantu menangani isu sekuriti makanan negara.\nDato\u2019 Sri Dr. Adham berkata, \u201cSesi libat urus yang diadakan pada hari ini bertujuan mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh smart farming berhubung dengan beberapa penyelesaian teknologi yang boleh diguna pakai dan memperincikan lagi kaedah adaptasi bagi mengatasi masalah sekuriti makanan yang dihadapi oleh komuniti atau masyarakat umum. Penyelesaian ini juga menyasarkan skala kecil, kos penggunaan teknologi yang rendah dan sederhana serta pengaplikasiannya oleh penduduk bandar yang berhadapan dengan isu kekangan ruang dan tanah bagi tujuan pertanian.\u201d\nTambah beliau lagi, \u201cDengan teknologi, kita mengubah keadaan dan menambah keupayaan. MOSTI sentiasa terbuka menerima pelbagai bentuk inovasi yang dapat membantu petani dan penternak kerana manfaatnya adalah untuk rakyat.\u201d" "Merancakkan Jualan Murah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Program Jualan Malaysia (PJM) merupakan inisiatif pemulihan ekonomi kerajaan khusus bagi sektor peruncitan kesan daripada pandemik COVID-19. Melalui inisiatif PJM yang mula dilaksanakan pada tahun 2020, sektor peruncitan di Malaysia mula menunjukkan pemulihan dan pertumbuhan yang memberangsangkan secara berperingkat.\nKementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang melaksanakan sebanyak lapan Program Utama PJM bermula dari bulan Januari hingga Disember 2022, dengan menawarkan jualan murah yang merangkumi Segmen Musim Perayaan, Segmen Jualan Mega dan Jualan Akhir Tahun dan Segmen Jualan Khusus di seluruh negara dan menyasarkan capaian nilai jualan sektor peruncitan sebanyak RM 500 bilion bagi tahun 2022.\nPJM\u00a0 mendapat sokongan yang amat baik daripada peniaga dan pemain industri peruncitan yang merekodkan sebanyak 7035 Notis Jualan Murah (NJM) yang dikeluarkan kepada 210 491 buah premis perniagaan\u00a0 sepanjang separuh tahun pertama 2022 di seluruh negara. Jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding dengan 180 756 buah premis yang mengadakan jualan murah pada tahun 2019.\nBagi merancakkan lagi jualan murah, KPDNHEP akan melaksanakan Cabutan Bertuah \u201cBelanja dan Menang\u201d PJM 2022 bagi mengekalkan momentum pertumbuhan sektor peruncitan yang merupakan satu daripada\u00a0penyumbang utama ekonomi negara dan disasarkan\u00a0merancakkan lagi aktiviti jualan sektor peruncitan secara fizikal di Malaysia dalam tempoh persekitaran ekonomi dan tekanan inflasi yang mencabar.\nYang Berhormat Dato\u2019 Rosol bin Wahid, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyempurnakan Majlis Prapelancaran Cabutan Bertuah \u201cBelanja dan Menang\u201d PJM 2022 di pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya.\nCabutan bertuah ini akan diadakan dari bulan Ogos 2022 hingga Disember 2022 dengan enam siri cabutan bersegmen dan satu cabutan utama. Semua warganegara Malaysia (pengguna) yang berumur 18 tahun dan ke atas layak untuk menyertai Cabutan Bertuah \u201cBelanja dan Menang\u201d\u00a0 PJM 2022.\nPenyertaan ini berdasarkan pembelian minimum sebanyak RM100.00 dalam satu resit dan mengemukakan penyertaan melalui pautan pada aplikasi mudah alih MySales Tracker yang dibangunkan oleh KPDNHEP dengan perincian yang akan dimaklumkan semasa pelancaran rasminya kelak.\nPengguna berpeluang untuk memenangi hadiah menarik, antaranya termasuklah:\nTiada had penyertaam PJM 2022 dan semua penyertaan yang diterima dengan lengkap pada semua enam cabutan bertuah bersegmen ini layak secara automatik menyertai cabutan utama yang dijadualkan berlangsung pada bulan Disember 2022.\nOrang ramai dipelawa untuk dipelawa untuk menyertai cabutan bertuah bersegmen ini melalui perincian yang akan dimaklumkan melalui semua media sosial KPDNHEP/cetak/ elektronik.\nUntuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian utama 03- 8882 5881/5905 atau melalui e-mel kepada [email\u00a0protected]" "Pameran Francais Terbesar di Asia Tenggara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (PPFAM) 2022 akan diadakan dari 8 hingga 10 September 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. Pengisian program selain pameran dan persidangan, termasuklah pemadanan perniagaan dan bengkel perniagaan francais.\nPameran ke-29 pada tahun ini merupakan satu-satunya pameran francais terbesar di Asia Tenggara dengan rekod penganjuran selama 28 tahun. Pameran ini mendapat sokongan sepenuhnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Perbadanan Pembangunan Luar Malaysia (MATRADE) dan badan francais antarabangsa, iaitu World Franchise Council (WFC) dan ASMJ Pacific Franchise Confederation (APFC).\nPPFAM menjadi platform penting kepada para pempamer dan peserta untuk meneroka peluang perniagaan, meluaskan rangkaian perniagaan dan mendapatkan rakan niaga yang berpotensi; meningkatkan pengetahuan berkaitan dengan francais dalam Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia; menyertai bengkel perniagaan francais secara percuma, dan bersemuka serta berbincang mengenai tawaran pakej perniagaan francais pilihan di Permodalan Perniagaan.\nIndividu yang berminat untuk menyertai PPFAM 2022 boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi nombor telefon: 03-62414141 atau e-mel: [email\u00a0protected]" "IRDA Catat RM13 Bilion Pelaburan Komited\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar Malaysia atau Iskandar Regional Development Authority (IRDA) sejak penubuhannya, merekodkan sebanyak RM219 bilion yang sebanyak 60% (hampir RM221 bilion) daripadanya adalah pelaburan domestik dan selebihnya RM148 bilion daripada pelaburan asing.\nYAB Perdana Menteri Malaysia, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa bagi tahun ini, hingga bulan Jun 2022, Iskandar Malaysia mencatatkan sebanyak RM13 bilion pelaburan komited, sebanyak RM6 bilion daripadanya direalisasikan. Jumlah yang dicatatkan ini membuktikan pelabur asing semakin yakin untuk melabur di Malaysia. Sebanyak lebih RM10 bilion bakal dijanakan oleh pelaburan asing di wilayah ini untuk pembangunan pusat data (data centre).\n\u201cPelaburan asing akan memberikan pertambahan peluang pekerjaan untuk Keluarga Malaysia. Secara keseluruhannya, lebih 6000 orang Keluarga Malaysia di wilayah ini mendapat manfaat secara langsung daripada semua inisiatif sosioekonomi yang dijalankan,\u201c kata beliau.\nMenurut Dato\u2019 Sri Ismail Sabri, IRDA turut merangka Strategi Pertanian Moden dalam mengukuhkan agenda Sekuriti Makanan. Pembangunan teknologi 5G yang merupakan komponen sokongan utama Pertanian Moden disegerakan di Kawasan Iskandar Malaysia bagi menangani isu bekalan makanan dalam negara. Hal ini sejajar dengan agenda kerajaan yang memberikan penekanan kepada sekuriti makanan melalui peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Pertanian Moden Iskandar Malaysia ini bakal menjenamakan IRDA sebagai \u201cAgrifood Hub\u201d Malaysia.\n\u201cIRDA juga sedang merangka Draf Pelan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia 2022\u20132030 yang bakal menjadikan wilayah ini sebagai satu tunjang utama menjanakan ekonomi negara dengan berkonsepkan pembangunan mampan dan berdaya tahan terhadap ketidaktentuan, kejutan dan tekanan masa depan. Pembangunan di wilayah ini amat penting bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia secara inklusif dan menyeluruh,\u201c ujar beliau." "MOSTI Perkasakan Teknologi Baharu Industri Agrikomoditi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0 \u2013 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi(MOSTI) hari ini menyatakan komitmen dan sokongan untuk memperkasakan pembangunan teknologi baharu dalam industri agrikomoditi dan mengajak syarikatteknologi tempatan untuk meneroka dana-dana yang disediakan bagi mempercepatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengkomersialan.\nMenteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato\u2019 Sri Dr Adham Baba dalam ucapannya\npada Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MiACES)\n2022 anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berkata,\n\u201cMOSTI telah menganjurkan program latihan upskilling deeptech and future skills bagi\nmembantu industri mendapatkan pekerja yang berkredibiliti dan mempunyai\nkemahiran kompeten selain membangunkan kapasiti pekerja menerusi pendedahan\nkepada keperluan sebenar industri.\u201d\nTambah YB Dato\u2019 Sri Dr Adham Baba, program ini bertujuan membantu Keluarga Malaysia yang mempunyai latar belakang kemahiran sains, teknologi dan inovasi, khususnya di kalangan mereka yang hilang pekerjaan berikutan terkesan dengan pandemik untuk kembali bekerja dan seterusnya menjana pendapatan.MOSTI dengan kerjasama agensi-agensi di bawahnya seperti Malaysian Research Accelerator Technology and Innovation (MRANTI) dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) akan bekerjasama dan menyokong KPPK serta pemain industri agrikomoditi. Perkara ini dapat dilakukan menerusi proses transformasi dan adaptasi teknologi, penyelidikan dan\u00a0 pembangunan serta pengkomersialan teknologi yang MOSTI yakini dapat membantu menambah baik industri.\nSehubungan dengan\u00a0 itu, syarikat korporat serta peladang dan pekebun kecil dialu-alukan\nuntuk berinteraksi dengan agensi-agensi di bawah MOSTI dan juga syarikat teknologi\nyang disokong oleh MOSTI bagi mendapatkan bantuan serta sokongan yangdisediakan.\nPada masa yang sama, MOSTI turut menjemput ekosistem perladangan dan komoditi\nuntuk tampil mendapatkan sebarang khidmat nasihat berhubung penyelesaian\nteknologi yang ditawarkan untuk diguna pakai secara meluas bagi peladang dan\npekebun kecil tempatan.\nMIACES 2022 yang dirasmikan semalam oleh Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail\nSabri bin Yaakob, berlangsung selama tiga hari bermula 26 hingga 28 Julai 2022\ndi Pusat Perdagangan dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala\nLumpur melibatkan penyertaan daripada 39 buah negara dan lebih 350 syarikat\nantarabangsa.\nEkspo dan sidang kemuncak ini menampilkan produk-produk komoditi, perkhidmatan\ndan teknologi perladangan terkini di bawah satu bumbung. Pelbagai acara lain turut\ndianjurkan antaranya persidangan, perbincangan meja bulat, mesyuarat business to\nbusiness (B2B) dan malam anugerah berprestij bagi menghargai sumbangan pemain\nindustri agrikomoditi.\nMIACES 2022 dilihat sebagai medium memperkukuhkan rangkaian kerjasama antara\npemain agrikomoditi bagi membina rangkaian urus niaga serta meneroka potensi\npelaburan dalam sektor agrikomoditi. Ia juga membuka ruang dan potensi bagi pemain\nindustri menembusi pasaran antarabangsa dalam persekitaran perniagaan yang\nkondusif.\nUntuk maklumat lanjut MIACES 2022, boleh layari: myagricommodity.com" "MYHackathon 2022 Fokus Pemulihan Ekonomi Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meneruskan misi mencari penyelesaian dan inisiatif berinovasi yang dapat memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia menerusi pelancaran program MYHackathon 2022. MYHackathon 2022 adalah kesinambungan acara MYHackathon 2020 yang diperkenalkan oleh Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) iaitu agensi di bawah MOSTI dan merupakan satu inisiatif program MYStartup. Ia merupakan platform yang diwujudkan untuk para techpreneurs, inovator, jurutera perisian dan rakyat Malaysia bagi menghasilkan idea penyelesaian yang berinovasi serta berteknologi untuk membantu menambah baik perkhidmatan awam.\nMenurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato\u2019 Sri Dr. Adham bin Baba, MYHackathon Edisi 2022 akan memberi tumpuan kepada pencarian penyelesaian kepada proses pemulihan ekonomi negara. \u201cMYHackathon 2022 adalah platform terbaik yang menyediakan peluang bagi syarikat-syarikat start-up, perusahaan tempatan, mahupun individu untuk menawarkan penyelesaian berteknologi dalam menambah baik kualiti penyampaian Kerajaan, seterusnya mengetengahkan idea dan inovasi masing-masing untuk dikomersialkan,\u201d kata beliau.\nTambah beliau, \u201cProgram MYHackathon 2022 ini juga secara tidak langsung berkait rapat dengan krisis sekuriti makanan yang mendapat perhatian khas Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan\u00a0Agong agar krisis ini ditangani segera. Usaha menangani isu krisis sekuriti makanan ini menjadi lebih bermakna jika rakyat turut berganding bahu dan sepakat untuk mengetengahkan penyelesaian berlandaskan teknologi.\u201d Peranan yang dimainkan oleh teknologi dan inovasi serta barisan start-up yang kreatif dilihat mampu memberi penyelesaian yang bernas kepada isu sekuriti makanan tersebut. Dengan tema \u201cHackathon Nasional Untuk Malaysia yang Inklusif\u201d, program yang bermula pada bulan Julai 2022 ini terdiri daripada dua kohort yang setiap fasa bakal mempunyai, secara minimum, lima pernyataan masalah.\nKohort pertama program MYHackathon 2022 telah berjaya menarik hampir 300 penyertaan daripada segenap lapisan masyarakat dari seluruh negara termasuklah individu, inovator tempatan, graduan universiti dan syarikat start-up. Para peserta akan bekerjasama dengan kementerian-kementerian dan agensi-agensi terpilih bagi mengetengahkan penyelesaian atau solusi bagi pernyataan masalah merangkumi pelbagai keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh pihak Kerajaan. Cradle mensasarkan sebanyak 600 penyertaan melalui dua kohort yang pemenang bakal menerima geran permulaan bernilai sehingga RM250 000.00 dan bimbingan secara one-to-one untuk melaksanakan pembangunan projek rintis bagi tempoh 12 bulan.\nMOSTI turut memperkenalkan satu kategori khas, iaitu Anugerah Khas Menteri MOSTI. Pemenang akan dipilih oleh panel yang terdiri daripada pengurusan kanan Cradle dan pengurusan tertinggi MOSTI sebelum diangkat untuk penilaian akhir. Pihak Cradle mengundang Keluarga Malaysia secara amnya untuk turut serta dalam program MYHackathon 2022 ini. Untuk maklumat lanjut mengenai ekosistem start-up Malaysia, program-program yang bakal dianjurkan Cradle dan juga maklumat berkaitan, boleh layari www.mystartup.gov.my." "Mengendalikan Ketidaktentuan dengan Pelaburan Terjamin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Selepas kelonggaran dasar monetari untuk suatu tempoh yang panjang, peningkatan kadar faedah global sememangnya tidak dapat dielakkan lagi. Keadaan ini turut didorong oleh kebimbangan disebabkan oleh peningkatan kadar inflasi, konflik geopolitik dan kenaikan harga bahan api yang semuanya berkait rapat. Dengan rata-rata pasaran di seluruh dunia kian menerima tempias peningkatan inflasi ini, konflik bersenjata antara Rusia dengan Ukraine memburukkan lagi keadaan ekoran peningkatan harga bahan api serta gangguan rantaian bekalan global.\nMempertimbangkan keadaan ekonomi global dan serantau, Bank Negara Malaysia (BNM)\u00a0 meningkatkan Overnight Policy Rate (OPR) sebanyak 50 mata asas (bps) kepada 2.25% sejak bulan Mei 2022 sejajar dengan kitaran pengetatan dasar monetari global bagi membendung peningkatan inflasi.\nDalam keadaan serba tidak menentu ini, adalah amat penting kepada para pelabur agar mempelbagaikan pelaburan mereka untuk mengekalkan kestabilan portfolio. Funding Societies, platform pembiayaan digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbesar di Asia Tenggara, komited menawarkan pelbagai produk pelaburan berisiko rendah menerusi platformnya bagi membantu para pelabur meraih pulangan konsisten menerusi produk seperti pembiayaan peniaga (dealer financing) dan Guaranteed Investment Notes (GIN)) serta pelbagai produk lain yang dalam perancangan.\nKetua Negara, Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon, berkata, \u201cKami sentiasa menginovasi bagi menawarkan lebih banyak produk pelaburan yang menepati keperluan objektif pelaburan dan tahap risiko yang berbeza. Sebagai contohnya, dengan perkembangan semasa ekonomi global dan potensi limpahan impaknya terhadap pasaran tempatan, Nota Pelaburan Terjamin (GIN) kami menawarkan pulangan lebih konsisten (walaupun dengan kadar lebih rendah berbanding dengan GIN yang lain) \u2013\u00a0 pelabur akan dilindungi daripada risiko pinjaman tidak dibayar balik atau mungkir pembayaran yang dilindungi oleh entiti penjamin yang dilantik \u2013 menarik minat para pelabur yang lebih berwaspada bagi tempoh jangka pendek hingga jangka sederhana. Kami\u00a0 memperkenalkan GIN semasa kemuncak pandemik COVID-19 dan\u00a0 mendapat sambutan memberangsangkan daripada para pelabur.\u201d\n\u201cDengan pengenalan GIN, kami dapat memenuhi tiga objektif, iaitu (1) menyediakan lebih banyak peluang pelaburan bagi mempelbagaikan portfolio para pelabur kami, (2) menawarkan produk pelaburan berisiko rendah bagi pelabur yang mempunyai objektif pelaburan dan tahap risiko berbeza, dan (3) terus menyediakan penyelesaian pembiayaan kepada lebih banyak lagi PKS di Malaysia bagi memenuhi keperluan modal perniagaan mereka,\u201d tambah Chai." "Peluang kepada Pelabur Hanya RM100.00\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dengan produk Guaranteed Investment Notes (GIN) Funding Societies, para pelabur berpeluang memanfaatkan portfolio pelaburan tambahan yang mengekalkan modal mereka, dan pada masa yang sama, memberikan pulangan. Dengan pelaburan minima sebanyak RM100.00 bagi setiap nota pelaburan, pelabur GIN berpeluang meraih pulangan bersih hingga 6% setahun sebelum yuran.\nSejak mula diperkenalkan pada bulan Mac 2021, Funding Societies berjaya meraih lebih daripada RM75 juta dalam bentuk agihan pembiayaan yang merangkumi lebih daripada 1000 nota GIN yang telah memanfaatkan hampir 1200 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).\nFunding Societies merupakan sebuah pengendali pasaran diiktiraf (RMO) yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan beroperasi di beberapa negara Asia Tenggara termasuk Singapura, Indonesia, negara Thai, dan Vietnam. Sejak penubuhannya, platform digital tersebut berjaya mengagihkan lebih RM10 bilion merangkumi lebih daripada 5 juta perjanjian pembiayaan di seluruh rantau.\nBersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia akan datang, Funding Societies akan mengadakan promosi untuk GIN.\nLayari https://fundingsocieties.com.my/promotions untuk maklumat lanjut tentang promosi terkini. Layari https://fundingsocieties.com.my/guaranteed-investment untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang GIN." "Penulisan Kreatif Menjanakan Ekonomi Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Ekonomi kreatif berkembang amat pesat era kini dan bidang penulisan kreatif yang menjadi fokus perbincangan yang bertajuk \u201cPenulisan Kreatif Jana Kognitif Pembaca\u201d melalui slot Cakna Bahasa di BERNAMA Radio yang diterajui DJ Hanee.\nProgram yang berlansung pada petang ini menampilkan Puan Rabi\u2019ahtuladawyah Md Saleh, Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.\nBeliau yang merupakan karyawan dalam bidang penulisan kreatif lebih daripada dua dekad sebelum menyertai DBP berkongsi pengalaman beliau tentang cara bidang ekonomi kreatif menyumbangkan kepada pendapatan negara, iaitu kira-kira RM33 bilion pada tahun 2020.\nMenurut beliau, pada tahun 2019, Perbadanan Harta Intelek (MyIPO)menerima sejumlah hampir 24 000 permohonan hak cipta dan karya sastera yang mencatatkan jumlah tertinggi diikuti dengan karya seni dan filem.\n\nMenurut beliau lagi tanpa disedari oleh umum, daripada penulisan atau hasil karya dalam industri kreatif boleh memberikan kesan yang besar kepada norma budaya tempatan. Hal ini berlaku jika karya dalam apa-apa jua bentuk yang dihidangkan atau dikeluarkan untuk pasaran tempatan tidak mengambil kira sentiviti masyarakat, agama dan budaya. Oleh hal yang demikian beliau menyarankan agar para karyawan serta para penulis bertanggungjawab dengan setiap karya yang dihasilkan.\nDalam slot tersebut Puan Rabi\u2019ahtuladawyah turut mempromosikan majalah terbitan DBP, iaitu Dewan Ekonomi, Ogos 2022 dan buku-buku berkaitan dengan penulisan kreatif yang diterbitkan oleh DBP." "Soalan Lazim Cukai Korporat di Portal LHDN\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin memaklumkan bahawa soalan-soalan Lazim Tax Corporate Governance Framework (TCGF) dan Tax Corporate Governance Guidelines (TCGG)\u00a0 dimuat naik di portal rasmi HASiL bagi rujukan pembayar cukai dan pihak yang berkepentingan.\nHASiL juga memuat naik TCG Guidelines yang telah dikemas kini hingga 27 Julai 2022 bertujuan memperincikan isi kandungannya selari dengan ekspektasi HASiL dan amalan terbaik dalam pelaksanaan Program TCGF. Semua dokumen ini boleh diakses serta dimuat turun dengan mengikut langkah mudah seperti yang berikut:\n\u00a0\nTCGF ini juga diperkenalkan sebagai asas kepada HASiL dan pembayar cukai untuk membangunkan dan mengekalkan hubungan kerja yang lebih terbuka dalam memastikan proses pematuhan percukaian adalah adil dan efektif. Maklum balas serta pertanyaan lanjut berkaitan dengan TCG, boleh dimajukan kepada HASiL melalui e-mel khas: [email\u00a0protected]\nSebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan dengannya boleh dimajukan kepada HASiL melalui:\nhttps://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/" "Biasakan yang Betul untuk \u201cIalah\u201d dan \u201cAdalah\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Kerap kali berlaku kekeliruan dalam kalangan pengguna bahasa Melayu yang hingga kini masih belum dapat membezakan penggunaan perkataan \u201cialah\u201d dan \u201cadalah\u201d dalam penulisan. Atas kesedaran tersebut, bagi membantu meningkatkan kefahaman orang ramai, BERNAMA Radio melalui slot Cakna Bahasa yang dikelolakan oleh Nazira Noran telah mengundang Encik Abdul Ghani Abu, Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah, Dewan Bahasa dan Pustaka, untuk berkongsi maklumat tersebut.\nMenurut beliau, perkataan \u201cialah\u201d dan \u201cadalah\u201d ialah kata pemeri yang bermaksud unsur yang menjadi pemerihal kepada predikat antara subjek dengan frasa utama dalam predikat (Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga). Kata pemeri \u201cialah\u201d merupakan pemerihalan secara persamaan antara subjek dengan predikat manakala kata pemeri \u201cadalah\u201d merupakan huraian tentang subjek oleh predikat.\nTambahnya lagi, \u00a0kata pemeri \u201cialah\u201d mesti hadir di hadapan frasa nama. Contohnya, \u201cDalam terjemahan komunikatif, yang mustahak ialah mesej yang hendak disampaikan\u201d. Kata \u201cialah\u201d juga boleh digunakan di hadapan kata \u201cbahawa\u201d dan kata hubung \u201cyang\u201d, iaitu berfungsi sebagai frasa nama.\nKata pemeri \u201cadalah\u201d pula hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Contoh frasa adjektif adalah seperti \u201cbesar\u201d dan \u201ckecil\u201d manakala frasa sendi nama seperti untuk \u201cdi\u201d dan \u201cpada\u201d. Contohnya, \u201cMakanan seimbang adalah baik untuk kesihatan badan\u201d.\nPenggunaan kata \u201cadalah\u201d dalam ayat pula adalah untuk menghubungkan objek ayat dan predikat ayat dengan memberikan keterangan berkenaan dengan subjek yang disebut sebelumnya. Kata lain bagi menjelaskan penggunaan adalah dalam ayat semasa lisan mahupun tulisan (kata \u201cadalah\u201d ini menunjukkan penerangan).\nKata pemeri sebenarnya amat terhad penggunaannya dan kurang digalakkan dalam pembentukan ayat dalam bahasa Melayu. Yang perlu diingati bahawa kata pemeri \u201cialah\u201d memerihalkan persamaan manakala kata pemeri \u201cadalah\u201d pula memberikan keterangan. Dengan kefahaman ini dapat membantu kita untuk tidak membazirkan perkataan (lewah) dalam penulisan atau pertuturan yang kerap berlaku dalam kalangan masyarakat.\nBeliau turut berharap agar perkongsiannya itu sedikit banyak dapat membantu masyarakat untuk lebih memahami bahasa kebangsaan dengan lebih baik dan dengan lebih terperinci. Para pengguna bahasa juga dialu-alukan untuk memiliki buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk rujukan pada masa akan datang." "Eksport Malaysia Lebih Berdaya Saing dengan Kenaikan Faedah AS\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Sistem Perbankan Malaysia Terus Mengekalkan Mudah Tunai yang Sihat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Program Alibaba LiveNOW 2022 Latihan e-niaga kepada 300 Rakyat Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kumpulan Alibaba (\u201cAlibaba\u201d) menutup Program Latihan LiveNOW (\u201cLiveNOW\u201d, \u201cProgram\u201d) dengan jayanya pada tahun ini, sekali gus melengkapkan 293 orang rakyat Malaysia merentas sesi bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan bahasa Mandarin dengan kemahiran asas strim langsung dan pembikinan video Pemimpin Pendapat Utama (Key Opinion Leader, \u201cKOL\u201d) untuk meraih pelbagai potensi peluang dalam bidang e-niaga interaktif. Dikendalikan menerusi kerjasama dengan rakan kongsi latihan khas MODEN KOL Academy dan disokong oleh Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp), MYNIC Berhad, Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), edisi kedua LiveNOW sekali lagi menjadi inisiatif tanggungjawab sosial korporat oleh Kumpulan Alibaba yang dikhususkan kepada masyarakatMalaysia.\nProgram latihan Alibaba LiveNOW merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang diwujudkan secara eksklusif untuk Malaysia dan ditaja sepenuhnya oleh Kumpulan Alibaba. Kali pertama diperkenalkan pada tahun 2020, program ini bertujuan meningkatkan kemahiran dan melatih semula rakyat Malaysia, selain membantu mereka untuk meraih potensi peluang dalam dunia e-niaga interaktif.\nProgram ini menyasarkan terutamanya individu yang berminat untuk membangunkan kerjaya dalam strim langsung e-niaga atau pembikinan video, serta pemilik perniagaan yang berhasrat untuk meraih manfaat daripada alat pemasaran e-niaga interaktif bagi menggalakkan pertumbuhan perniagaan mereka.\nBerdasarkan asas latihan strim langsung KOL yang dicakup oleh edisi 2020, program LiveNOW pada tahun ini merangkumi komponen pembikinan video dalam talian memandangkan wujudnya peningkatan dalam penggunaan video pendek sebagai medium pemasaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini.\nSemasa sesi latihan dalam talian selama tiga hari secara percuma yang dikendalikan dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan bahasa Mandarin, peserta memperoleh peluang untuk belajar daripada pelbagai sesi perkongsian yang dihoskan oleh KOL tempatan terkenal, termasuklah Kate Ke En, Kartini Ariffin, Jae C, dan Xiao Gu, selain kuliah oleh para pembimbing daripada Taobao, MODEN KOL Academy, Lazada dan rumah pembikinan video tempatan, UNINESS.\n\u201cKami berasa gembira kerana menerima respons yang sangat menggalakkan daripada masyarakat Malaysia pada tahun ini terhadap program LiveNOW kami, sekali gus menunjukkan permintaan yang kukuh terhadap peluang pembinaan keupayaan sedemikian.\nHal ini jelas terbukti dalam era pascapandemik ini ketika banyak orang telah memulakan perjalanan mereka dalam ruang e-niaga. Kami berharap agar program ini bukan sahaja telah memberikan peserta kita pengetahuan yang relevan untuk meneroka arena ini dengan keyakinan menerusi kisah-kisah pembimbing KOL kami bahawa kejayaan bukan tidak boleh diraih jika kita mempunyai keinginan untuk mencapai matlamat kita,\u201d jelas Jess Lew, Pengurus Negara, Tmall Taobao World Malaysia.\n\u201cKami berbesar hati dapat bekerjasama sekali lagi tahun ini dengan Alibaba dan membawa LiveNOW kepada komuniti yang lebih meluas di Malaysia. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami menyaksikan permintaan yang semakin berkembang daripada generasi muda untuk menjadi penstriman langsung KOL atau pembikin video, dan kami gembira dapat memanfaatkan pengalaman latihan kami selama bertahun-tahun bagi membantu mereka mempercepat penguasaan kemahiran yang relevan menerusi program ini. Kami berharap mereka akan menerapkan ilmu yang diperoleh dalam perkara yang berfaedah untuk mempertingkat jati diri mereka ke tahap yang lebih tinggi dalam e-niaga,\u201d kata Jerry Hang,\nPengasas MODEN KOL Academy, Billion Tiu, peserta Program Latihan LiveNOW 2022 memberikan pandangan terhadap program Latihan, \u201cHari ini saya mula memahami sebab trend semasa niaga secara langsung dan video dalam talian berkembang dengan begitu pesat, dan rangkaian komersial menjadi sangat mengagumkan. Membina rangkaian komersial anda dengan melakukan strim langsung merupakan model perniagaan yang berkesan kerana melibatkan modal yang kurang dan risiko yang rendah. Terima kasih Alibaba kerana memberi kami peluang untuk belajar.\u201d\nSeorang lagi peserta LiveNOW 2022, Jasmine Ong, berkongsi, \u00a0\u201cSaya sering mengagumi keyakinan penstriman langsung dan menyimpan impian untuk menjadi individu yang mampu mengendalikan strim langsung saya sendiri bagi menjual aksesori dan barang kemas sebagai kaedah pemasaran tambahan. Program Latihan Alibaba LiveNOW telah memberi saya kefahaman yang lebih baik tentang sejauh mana hasrat ini dapat dicapai, dan sayamerancang untuk memulakan sesi strim langsung saya sendiri pada waktu terdekat. Terima kasih kerana menganjurkan program ini dan menjadikannya lebih mudah diakses bagi kami untuk menguasai kemahiran pemasaran interaktif!\u201d\nPeserta yang telah melengkapkan latihan LiveNOW 2022 layak untuk menyertai Komuniti LazTalent, iaitu kumpulan KOL strim langsung akar umbi Lazada. Di samping itu, mereka juga boleh memohon pakej penjual Lazada baharu untuk menikmati manfaat dan sokongan secara langsung di bawah di bawah Pakej Kickstarter Penjual Baharu Hari-Harimau Lazada Malaysia.\nKali pertama dianjurkan pada tahun 2020, program Latihan sulung LiveNOW menyaksikan penyertaan oleh 200 orang rakyat Malaysia yang berhasrat untuk menjadi penstriman langsung KOL. Dengan berakhirnya edisi 2020, program LiveNOW telah memberikan manfaat kepada hampir 500 orang rakyat Malaysia, sekali gus memperluas matlamat Alibaba untuk membolehkan akses kepada ekonomi digital untuk semua." "Bursa Malaysia Catat Aliran Masuk Asing Sebanyak RM152.9 Juta\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Coway Run 2022 Bersatu untuk Mencipta Perubahan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sediakan kasut larian anda kerana acara larian Coway Run secara fizikal kembali selepas penantian selama dua tahun. Regangkan badan dan otot anda dan tanamkan semangat untuk berlari sehingga ke garisan penamat. Acara Coway Run 2022 akan bermula dari bulan Oktober hingga November 2022 ini.\nDengan tema Unite to Create (\u201cBersatu untuk Mencipta\u201c) yang menggabungkan aktiviti kehidupan sihat, kesejahteraan, kecergasan dan kesenian, para peserta boleh memilih larian bersendirian secara maya atau larian beramai-ramai secara fizikal! Peserta yang memilih untuk menyertai larian secara fizikal juga boleh berlari secara maya.\nDalam larian maya, peserta boleh berlari mengikut rentak dan kelajuan mereka sendiri dari 1 Oktober hingga 6 November 2022. Tanpa menetapkan had jarak, peserta boleh keluar dari zon selesa masing-masing dan mencipta pencapaian baharu dengan mengatasi sasaran peribadi dan memecahkan rekod untuk mengumpulkan lencana maya berbeza.\nLarian secara fizikal akan diadakan pada 6 November dengan pelepasan peserta seawal jam 6.00 pagi di Dataran Putrajaya. Peserta boleh menyertai satu daripada dua kategori, Fun Run (larian ceria) 6 km atau Competitive Run (larian kompetitif) 10 km.\nLarian Kompetitif 10 km dibahagikan kepada enam segmen, iaitu Terbuka, Veteran dan Terbuka Antarabangsa bagi Lelaki dan Wanita untuk peserta berumur 16 tahun ke atas. Hidupkan semangat juang anda dan berlari sepantas kilat untuk merebut jumlah hadiah wang tunai bernilai RM18 000 yang menanti para pemenang Larian Kompetitif 10km.\n\u201cTahun ini, kami amat teruja untuk mengadakan larian secara fizikal kerana Coway Run ialah satu daripada acara yang saya percaya amat dinanti-nantikan setiap tahun dan kami teruja untuk menganjurkan edisi baharu larian ini. Pelari yang setia dan tegar kami tidak akan hampa kerana pelbagai aktiviti menarik menanti mereka. Matlamat utama Coway Run adalah untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia dan pada masa yang sama mencipta platform untuk peserta menyumbangkan kepada masyarakat yang memerlukan. Seperti biasa, acara kami membolehkan peserta berlari sambil beramal dan tahun ini, kami berharap untuk mengumpulkan lebih banyak dana berbanding dengan tahun lepas,\u201d kata Kyle Choi, Pengarah Urusan Coway Malaysia.\nBuat persiapan untuk larian tahun ini yang bertemakan Unite to Create yang menjanjikan pelari sesuatu yang lebih besar daripada mana-mana larian lain pada masa lepas sambil pelari berganding bahu untuk mencetus perubahan dalam setiap langkah larian yang diambil.\nCoway Run 2022: Unite to Create akan menjadi larian pertama di Malaysia yang memaparkan hasil seni NFT yang akan digunakan untuk tujuan murni. Sejajar dengan tema acara, laluan larian bakal menjadi kanvas pelari, manakala langkah-langkah mereka ibarat berus yang digunakan untuk mencipta langkah larian unik dalam bentuk gambar atau objek.\nMenerusi larian maya ini, peserta perlu mencipta lukisan seni kreatif dengan setiap langkah larian menggunakan aplikasi larian GPS dan lukisan seni larian paling kreatif akan diterbitkan menjadi sebuah karya seni NFT oleh beberapa artis NFT tempatan. Manakala, bagi larian secara fizikal, peserta akan berganding bahu dan meraikan acara dengan mencipta sebuah karya lukisan seni besar bersama-sama artis jemputan. Semua karya seni ini kemudian akan dilelong dan hasilnya akan disalurkan kepada beberapa organisasi amal, termasuklah EcoKnights, MERCY Malaysia, Reef Check Malaysia, dan Nicol David Organisation.\nSejajar dengan komitmen Coway untuk menjalankan kerja amal seperti tahun sebelumya\u00a0 daripada setiap tiket yang dijual, RM10.00 akan disumbangkan kepada Projek Happy Water Coway yang bertujuan terus membantu masyarakat kurang berkemampuan dan juga Orang Asli untuk mendapat bekalan air minuman yang bersih.\n\u201cSetiap tahun, beribu-ribu peserta membantu kami mengubah kehidupan menjadi lebih indah dan tahun ini pasti lebih bermakna kerana kami dapat membantu lebih banyak masyarakat dan memberikan sumbangan positif kepada alam sekitar, terutamanya menerusi hasil seni NFT yang akan kami kutip dengan bantuan peserta Coway Run kami. Lukisan seni dari setiap langkah larian tersebut akan dilelong dan hasilnya disalurkan kepada badan-badan amal yang merupakan rakan kerjasama kami. Menerusi inisiatif amal seperti ini, kami dapat menjadikan hidup lebih ramai insan lebih indah dan terus menabur bakti kepada masyarakat,\u201d kata Choi.\nUntuk membantu mencetus perubahan dengan setiap langkah, daftar sekarang dari 2 Ogos hingga 4 Ogos 2022, untuk menikmati harga tiket istimewa bagi pembeli awal serendah RM40.00. Dapatkan tiket anda sebelum kehabisan!\nSemua pelari akan menerima kit larian istimewa Coway yang terdiri daripada cenderamata mesra alam. Para peserta akan menerima Kemeja-T Coway Run 2022, beg galas boleh digunakan semula, kad ucapan mengandungi benih yang boleh ditanam, pingat unik yang diperbuat daripada plastik kitar semula yang boleh diubah suai menjadi pemegang telefon, dan barangan eksklusif lain!\nUntuk maklumat lanjut tentang Coway Run 2022, layari www.cowayrun.com.my" "Rizab Antarabangsa BNM Naik pada Julai 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Peruntukan RM50 Juta untuk Program Pembiayaan PEMULIH NewBiz\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Subsidi Bersasar Dilaksanakan Apabila Keadaan Ekonomi Mengizinkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBeliau menambah masih terlalu awal untuk membuat keputusan memperkenalkan subsidi bersasar melalui Bajet 2023 akan datang kerana tidak wajar dilaksanakan dalam keadaan inflasi global yang tinggi. \u201cPada masa sama kita juga perlu memahami bahawa subsidi tidak bersasar dalam jangka masa panjang tidak akan membawa faedah kepada pertumbuhan ekonomi negara. \u201cKita masih lagi dalam proses pemulihan dan perkara ini perlu dibawa ke Jemaah Menteri untuk dibincangkan sama ada subsidi bersasar akan diperkenalkan dalam Bajet 2023.\u201c\u00c2" "Syarikat Permulaan UiTM Cawangan Perlis Menjalinkan Kerjasama dalam Penghasilan dan Pemasaran Produk Bertaraf Global\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Syarikat permulaan (start-up) UiTM Cawangan Perlis, Athanliz Innovations Sdn. Bhd. hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama-sama ZEM Holdings Sdn. Bhd. dan Malthai Hub.\nKolaborasi antara Athanliz Innovations Sdn. Bhd. hari ini bersama-sama ZEM Holdings Sdn. Bhd. dan Malthai Hub ini membuktikan komitmen kedua-dua pihak dalam menyediakan platform kepada syarikat permulaan UiTM Cawangan Perlis ini bagi membangunkan hasil inovasi produk kosmetik Lindifera seperti sabun muka, pelembab bibir selain yogurt yang berasaskan harumanis UiTM Cawangan Perlis di peringkat global.\nMenerusi pemeteraian memorandum tersebut, ZEM Holdings Sdn. Bhd. akan bekerjasama dengan menyediakan peluang untuk penyelidikan dan penghasilan produk serta memberikan panduan dan bantuan dari segi ilmu dan kemahiran dalam membantu pembangunan produk dan syarikat.\nSelain itu, Athanliz Innovations Sdn. Bhd. turut diberikan bantuan dari segi pemasaran produk ke luar negara melalui kerjasamanya bersama-sama Malthai Hub.\nTimbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Norazah Abd Rahman yang turut hadir menyaksikan detik bersejarah tersebut melahirkan rasa gembira dan kagum akan pencapaian UiTM Cawangan Perlis atas kejayaan melahirkan syarikat permulaan dari kampus tersebut. Beliau berharap agar lebih banyak lagi produk inovasi dapat terus dikomersialkan dan seterusnya dapat melihat lebih banyak syarikat permulaan dari UiTM Cawangan Perlis dapat ditubuhkan. Hal ini sekali gus dapat membantu UiTM dalam menjana pendapatan melalui penjualan produk dari syarikat permulaan.\nPertukaran memorandum tersebut disempurnakan oleh Pengarah Urusan, Athanliz Innovations Sdn. Bhd., Dr. Athifah Najwani Shahidan dan Pengarah Urusan ZEM Holdings Sdn. Bhd., iaitu Encik Mohamad Zulkurnain Ab. Rahman; dan Pengarah Urusan, Athanliz Innovations Sdn. Bhd., Dr. Athifah Najwani Shahidan dan Encik Paudzi Yahya, Pengarah Malthai Hub.\nMajlis ini turut disaksikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Syed Shatir Asghrar Syed Hassan, Pengarah Bitcom serta beberapa delegasi dari UiTM Cawangan Perlis, Bitcom UiTM dan ketiga-tiga wakil syarikat." "Raja Muda Perlis Berkenan Serah Sumbangan Tabung Ibnu Sabil MAIPs\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Pada tahun 2021, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di Timur Tengah dengan jumlah perdagangan bernilai RM24 bilion. Jumlah keseluruhan eksport adalah sebanyak RM11.447 bilion dan jumlah keseluruhan import pula adalah sebanyak RM12.673 bilion. Jumlah dagangan keseluruhan meningkat sebanyak 9.1% berbanding pada tahun 2020. UAE juga adalah rakan dagang ke 16 di dunia.\nLima eksport utama Malaysia ke UAE pada tahun 2021 ialah barangan elektrik dan elektronik (E&E) berjumlah RM2.785 bilion, barangan kemas berjumlah RM1.734 bilion, minyak mentah kelapa sawit, dan produk pertanian berasakan minyak sawit berjumlah RM813.57 juta, produk petroleum berjumlah RM694.85 juta dan makanan yang diproses berjumlah RM558.21 juta. Manakala, lima import utama Malaysia dari UAE ialah produk petroleum berjumlah RM4.565 bilion, minyak mentah berjumlah RM1.616 bilion, petrokimia dan produk kimia berjumlah RM1.252.61 bilion, penghasilan besi berjumlah RM1.018 bilion, dan barang kemas berjumlah RM344.51 juta.\nDari segi pelaburan UAE ke Malaysia, sebanyak 28 buah projek perkilangan bernilai RM1.4 bilion dijalankan dan menghasilkan 1704 peluang pekerjaan. Antara projek tersebut, termasuklah penghasilan jentera berat, peralatan, farmaseutikal halal, penghasilan produk makanan, pengilangan produk kimia, getah, plastik, dan sebagainya. Di samping itu, sebanyak 36 buah pejabat dibuka di Malaysia, antaranya syarikat-syarikat di UAE juga telah membuka pejabat wilayah, pejabat perwakilan, ibu pejabat operasi dan hub utama.\nSelain itu, dalam aspek Pendidikan tinggi, pejabat Education Malaysia Dubai (EM Dubai) memaklumkan pada masa ini terdapat sebanyak 21 orang pelajar Malaysia yang belajar di UAE. Manakala, sebanyak 843 orang pelajar UAE sedang menyambung pelajaran di Malaysia.\nEM Dubai melihat peluang dan potensi yang luas bagi menarik minat para pelajar UAE. Selain pelajar tempatan UAE, potensi yang dimaksudkan juga ialah anak-anak ekspatriat yang bekerja di sini. Anak-anak mereka yang belajar di sekolah-sekolah antarabangsa menjadi satu peluang yang sedang diterokai oleh EM Dubai. Oleh hal yang demikian, aktiviti promosi dijalankan di sekolah-sekolah antarabangsa di UAE dan memperkenalkan pendidikan tinggi Malaysia.\nBagi aspek pelancongan, pejabat Tourism Malaysia Dubai (TM Dubai) memaklumkan sebanyak 11174 orang pelancong dari UAE yang melawat Malaysia pada tahun 2019. Walau bagaimanapun, pada tahun 2020 dan 2021, jumlah pelawat dari UAE menurun secara mendadak berikutan pandemik COVID-19 yang menyebabkan kebanyakan negara termasuk Malaysia menutup sempadan negara masing-masing bagi membendung dan membanteras penularan wabak COVID-19. Walau bagaimanapun, pihak TM Dubai meneruskan usaha dengan aktiviti promosi secara maya dan fizikal. Usaha secara berterusan ini diharapkan akan kembali meningkatkan jumlah pelawat asing dari UAE.\nDemikian menurut siaran media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang dipersembahkan kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail oleh Kuasa Usaha Sementara, Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Khairul Nazri Mohamad Taib baru-baru ini. Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda bongsu baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.\nTuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan menyerahkan sumbangan tambahan Tabung Ibnu Sabil MAIPs yang diterima oleh Konsul Muda, Mohd Adham Yahaya dan disaksikan oleh Pegawai Protokolnya, Mohamad Hassan bagi pihak Pejabat Konsulat.\n\u00a0\n(Foto : MAIPs)" "Bahasa dan Budaya Mengeratkan Perpaduan Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBahasa memainkan peranan yang penting dalam kehidupan masyarakat. Bahasa yang baik dan mudah difahami serta boleh dituturkan oleh masyarakat seperti bahasa Melayu mampu menjadi bahasa perpaduan negara. Hal ini dapat dilihat sejak negara mencapai kemerdekaan dan hingga kini peranan ini telah dilaksanakan oleh bahasa Melayu dengan berkesan dan berjaya.\nPembangunan dan kemajuan yang sempurna dalam kehidupan masyarakat semuanya bermula daripada penggunaan bahasa Melayu di negara ini. Paduan antara pembangunan dengan kemajuan kerohanian dan kebendaan mestilah bermula dengan penggunaan bahasa yang betul, tepat dan berkesan. Sesungguhnya bahasa merupakan satu daripada pencapaian terawal dalam tamadun manusia.\nSejarah juga telah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah memainkan peranan yang penting dan berkesan dalam kebudayaan bagi mengeratkan perpaduan masyarakat. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu yang berdaulat telah berjaya memupuk perpaduan murid di peringkat sekolah\u00a0 dan institusi pengajian tinggi. Semua hal itu telah dilaksanakan secara berperingkat oleh bahasa Melayu sejak tahun 1957.\nBahasa Melayu juga telah melalui perancangan yang rapi. Mengikut Fishman el al. (1971), proses pengekodan meliputi usaha ke arah \u201cpenyerapan variasi bahasa dari segi daerah dan sosial melalui penyediaan tatabahasa, kamus, panduan ejaan, dan sebagainya\u201d.\nSelain itu, bahasa Melayu turut\u00a0 melalui proses perancangan bahasa, iaitu melalui perancangan, pelaksanaan masyarakat bahasa dan penilaian. Melalui proses ini, bahasa Melayu telah melalui aspek pengekodan, pemupukan dan penilaian bagi memajukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam kalangan masyarakat.\nMenurut Nik Safiah Karim dan Norliza Jamaluddin (2012), bahasa Melayu telah menuju bahasa Melayu moden melalui perancangan bahasa ini sebagai usaha memupuk ke taraf yang lebih maju, iaitu bahasa yang mampu mengungkapkan pelbagai konsep yang berkaitan dengan urusan rasmi negara dan juga kebudayaan yang mewakili kehidupan moden masa ini.\nMenurutnya lagi, perkembangan bahasa Melayu moden dapat dilihat melalui usaha\u00a0 yang dilaksanakan oleh individu dan ahli masyarakat serta badan dan pertubuhan tertentu. Perancangan bahasa Melayu sebagai bahasa moden diselaraskan dengan perkembangan dan kemajuan yang dicapai oleh masyarakat mampu dilaksanakan.\nBahasa Melayu kini menjadi media sosial, media perdagangan, media politik, media penyebaran ilmu pengetahuan, media kebudayaan, pengurusan, undang-undang, ekonomi, media pendidikan serta yang lebih utama sebagai media penyebaran dakwah dalam kehidupan agama dan budaya masyarakat. Bahasa menjadi penting dalam hubungan kehidupan masyarakat serta bidang profesional yang lain.\nPeranan rakyat terutamanya yang menggunakan bahasa Melayu dalam lisan dan tulisan, iaitu dengan berbahasa Melayu menjadikan bahasa Melayu lebih mudah diterima oleh masyarakat di negara ini. Bagi membentuk perpaduan, bahasa memainkan peranan penting, iaitu dalam bidang pendidikan, komunikasi, dan pengamalan budaya. Apa-apa juga kegiatan yang dilakukan dalam kebudayaan masyarakat mestilah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa komunikasi.\nClive Bell (2007) berpandangan bahawa orang yang berbudaya biasanya berbicara segala macam hal melalui bahasa. Oleh itu, bahasa yang digunakan mestilah bahasa yang mudah difahami dan diterima oleh semua kaum dalam sesebuah masyarakat dan negara yang merdeka.\nOleh sebab itu, peranan bahasa sangat penting dalam mengeratkan perpaduan kaum. Bahasa yang baik dan berilmu akan menjadi bahasa pengantar, bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan seperti bahasa Melayu kepada sesebuah negara seperti Malaysia. Peranan masyarakat adalah mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan.\nSehubungan dengan itu, bahasa Melayu sebenarnya sudah lama mampu dan berfungsi dengan peranannya dalam menyatupadukan pelbagai kaum di negara ini. Di sekolah, murid diajarkan bahasa dan mereka dapat berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Melayu, di samping bahasa Inggeris yang digunakan sebagai bahasa penerokaan ilmu.\nTidak ada kelebihannya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris setiap hari sama ada di rumah atau di tempat kerja, malah tiada kekurangan pun jika berbahasa Melayu di rumah dan juga di tempat kerja dan di majlis rasmi. Bahasa Melayu lebih hebat dan indah kerana mempunyai keindahannya melalui bahasa puisi, iaitu pantun, peribahasa dan kata-kata hikmah. Kedua-dua bahasa ini mempunyai peranan yang penting dalam hubungan budaya dan menambah ilmu pengetahuan.\nYang paling penting, para pengguna bahasa tidak mencampuradukkan kedua-dua bahasa dalam penulisan dan percakapan. Hal ini diibaratkan seperti \u201cSekerat ular dan sekerat belut\u201d yang boleh merosakkan bahasa terutamanya bahasa Melayu. Oleh itu, penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian sama ada di media sosial dan media baharu mestilah secara sepenuhnya.\nSelain itu, budaya juga dapat mengeratkan pelbagai kaum dalam kepelbagaian budaya di sesebuah negara. Setiap rakyat di negara ini yang memahami kaum lain akan menghormati budaya dan adat resam mereka. Dalam hubungan kejiranan dan juga melaksanakan acara berkaitan dengan budaya, bahasa Melayu mestilah digunakan sebagai bahasa komunikasi.\nKini Malaysia mempunyai 32.75 \u00a0juta penduduk dalam suku tahun pertama 2021 dan terdiri daripada lebih 200 etnik yang pelbagai berdasarkan kaum, struktur atau kelas sosial, bahasa, kepercayaan, dan adat resam sesuatu kelompok masyarakat. Oleh itu, rakyat Malaysia berperanan penting dalam mendaulatkan dan memperkasakan bahasa Melayu.\nSetiap budaya mempunyai keindahan dan keunikan yang perlu dipelihara sebagai warisan bangsa dan negara. Budaya yang unik dan dapat diterima oleh pelbagai kaum juga dapat menarik para pelancong luar negara sebagai aset pelancongan yang mendatangkan sumber ekonomi negara. Masyarakat yang berbudaya mestilah mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi yang berkesan.\nSelain itu, hikmah daripada kepelbagaian sosial dan budaya perlu diraikan oleh setiap masyarakat. Setiap kaum perlu menginsafi dan menghormati kelainan tersebut. Kelebihan ini akan dapat menambahkan pengetahuan anggota masyarakat selain kaum itu sendiri tentang sesuatu keistimewaan kaum tersebut. Hal ini pastinya akan meningkatkan penyelidikan kajian etnik di Malaysia.\nKepelbagaian sosial budaya ini boleh menjadi produk pelancongan negara. Moto pelancongan \u201cMalaysia Truly Asia\u201d juga dapat menggambarkannya kepada pelancong asing bahawa mereka boleh mendapatkan pengalaman yang banyak hanya dengan melancong di Malaysia sahaja.\nDi samping itu, pendekatan sosial dan kebudayaan juga sebenarnya boleh dibentuk melalui perkongsian nilai murni yang diamalkan oleh pelbagai kaum. Misalnya nilai menghormati antara satu sama lain. Apabila mencintai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa komunikasi yang berkesan, pastinya akan dapat menjadikan seseorang itu berusaha untuk memartabatkan bahasa Melayu.\nMenurut Felow Utama Institut Kebangsaan Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr. Denison Jayasooria ketika ditanya tentang hal ini menyatakan bahawa setakat ini peranan bahasa dan sosial budaya amat berkesan dalam mengekalkan perpaduan kaum di negara ini.\nMenurutnya lagi, perpaduan kaum melalui bahasa kebangsaan telah diamalkan sejak dahulu dan berlaku di sekolah rendah dan menengah di negara ini yang membuktikan bahawa semua murid boleh berkomunikasi dan berhubung melalui bahasa Melayu dengan baik dan berkesan. Melalui bahasa Melayu, semua murid dapat berkomunikasi dengan berkesan dan mesra dengan penuh kasih sayang.\nKatanya, melalui pendidikan di sekolah, perpaduan dapat diterapkan melalui bahasa dan juga pemahaman budaya kaum lain melalui aktiviti budaya yang diamalkan dan diajar dalam kegiatan kokurikulum. Bahasa Melayu mesti digunakan dalam pendidikan bagi membentuk perpaduan yang jitu.\nOleh itu, setiap kaum atau etnik mempunyai ciri tersendiri yang dapat menunjukkan identiti yang telah diwarisi dan akan diwariskan kepada generasi mereka pada masa akan datang. Dengan menggunakan bahasa Melayu yang betul tepat dan berkesan akan memudahkan lagi aspek komunikasi dalam masyarakat.\nAntara ciri utama pengenalan identiti kaum pula ialah bahasa pertuturan, pakaian, adat resam dan agama yang diamalkan dalam kehidupan mereka. Perlu juga difahami bahawa sosial budaya menerangkan tentang hal yang berkaitan dengan masyarakat. Pemahaman ini juga perlu diterapkan sejak di peringkat sekolah lagi.\nKepelbagaian dalam budaya perlu diraikan tetapi mestilah berpaksikan ketaatan dan kecintaan terhadap negara, bahasa dengan berlandaskan kefahaman, keadilan, keharmonian dan saling menghormati. Kepelbagaian juga mestilah berpaksikan semangat perlembagaan yang telah dipersetujui bersama.\nOleh yang demikian, cabaran yang dihadapi oleh masyarakat majmuk amat banyak dan perlu didepani dan diatasi. Oleh itu, sifat bertolak ansur antara kaum sangatlah dituntut. Pihak kerajaan juga perlu kreatif mencari strategi untuk meningkatkan integrasi kaum di negara ini melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan keilmuan seperti seminar bahasa dan budaya yang merentasi kepelbagaian kaum. Jangan sampai hilang bahasa, lenyaplah bahasa.\nKesimpulannya, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa komunikasi\u00a0 mestilah digunakan dalam apa-apa juga acara dalam kegiatan masyarakat. Apabila bahasa Melayu dapat digunakan dengan baik dan berkesan oleh pengacara melalui ucapan akan membolehkan bahasa Melayu merentas budaya dalam kehidupan masyarakat di negara ini. Bahasa menunjukkan bangsa, iaitu bahasa ialah lambang keperibadian sesuatu masyarakat." "Peniaga PKS Perlu Mempunyai Pelan Kontingensi Hadapi Cabaran Perniagaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Perluaskan Pengisian Buku Malaysia untuk Pasaran Luar Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSerdang \u2013 Forum \u201cPemasaran Buku Karya Cendekia\u201d bersempena dengan Ekspo Buku Malaysia dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022, yang berlangsung di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada pukul 11.00 pagi tadi menampilkan tiga orang ahli panel yang berkongsikan ilmu berkaitan dengan pemasaran karya ilmiah yang sangat menarik.\nMenurut YBhg. Prof. Dr. Roosfa Hashim, iaitu Bendahari Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia, yang juga merangkap Pengarah Pusat Penerbit Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, pada hari ini banyak penerbit ilmiah telah berpindah kepada medium e-dagang. Kini, penerbitan ilmiah juga terdiri daripada penerbit dari Universiti Awam dan organisasi lain seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).\nKatanya, penerbitan ilmiah di negara ini turut disokong oleh persatuan yang turut menyokong usaha penerbitan jurnal.\nSaya kurang bersetuju jika ada pendapat yang mengatakan bahawa buku kita masih tidak mencapai piawaian standard dari segi reka bentuk. Hal ini dikatakan demikian kerana \u00a0buku dari negara Malaysia ada yang memenangi pelbagai anugerah buku di luar negara.\nNamun begitu, beliau bersetuju jika dikatakan bahawa pengisian kandungan buku negara hanya untuk bacaan masyarakat Malaysia semata-mata. Oleh itu, beliau mencadangkan agar penulisan buku perlu diluaskan konteksnya supaya orang luar negara juga boleh membacanya bagi tujuan menyebarluaskan ilmu kepada pembaca umum. Hal ini memerlukan perubahan dari segi pendekatan penulisan dan bahasa yang lebih menarik.\nSementara itu, YBhg. Prof. Madya Dr. Abdul Malek, dari Gedung Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan, Universitas Maritim Raja Ali Haji, Indonesia pula menyatakan bahawa terdapat kira-kira 25 ribu judul buku setahun yang diterbitkan di Indonesia.\nTambah beliau, penerbitan buku ilmiah di Indonesia masih kurang dan masih belum memenuhi pencapaian yang diharapkan. Antara buku yang laris di pasaran termasuklah buku sastera dan buku bacaan untuk kanak-kanak.\nAntara kaedah pemasaran\u00a0yang digunakan di Indonesia dalam kalangan penerbit buku ialah mereka banyak mengadakan kerjasama dengan universiti dan kerajaan\u00a0negeri terutamanya bagi kegunaan di sekolah.\nMenurutnya lagi, antara sebab permintaan buku sastera tinggi dalam kalangan masyarakat dan pemasaran buku sastera berjalan lancar ialah penulisnya terdiri daripada penulis yang hebat namun tetap menggunakan bahasa ibunda, iaitu bahasa Indonesia yang menonjolkan ketamadunan dan kekayaan budaya Indonesia. Hal ini juga disebabkan promosi yang dilaksanakan oleh penerbit yang sangat berdaya maju dan berjaya\nEncik Azmi Mustapha, iaitu Konsultan Pemasaran Buku Eropah dan Pengarah Dreiha Handels Und Consulting Service E.K pula menyatakan pandangan orang Eropah berkaitan dengan penerbit buku dari Malaysia, khususnya dari segi pemasaran buku ilmiah, iaitu menitikberatkan kualiti buku.\nFaktor reka bentuk yang tidak mengikut piawaian standard juga menjadi punca buku Malaysia kurang mendapat sambutan di luar negara. Selain itu, buku Malaysia juga banyak dikarang untuk bacaan orang Malaysia dan bukannya untuk bacaan masyarakat antarabangsa. Oleh itu, amat susah untuk kita pasarkan buku kita ke luar negara.\nTambahnya, buku yang mempunyai nilai komersial adalah antara buku yang mudah dipasarkan seperti kandungan buku yang menarik.\nForum yang disiarkan secara langsung menerusi FB Universiti Putra Malaysia ini turut menampilkan YBhg. Prof. Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan, iaitu Pengarah Pusat Penerbit Universiti Putra Malaysia sebagai moderator." "Raja Muda Perlis Berharap agar Pelabur Membangunkan Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nChuping \u2013\u00a0Raja Muda Perlis, Duli Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail\u00a0 berkenan berangkat menyempurnakan perasmian \u201cMajlis Apresiasi Penaja Sisipan Khas di dalam Akhbar Tempatan Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-79 DYMM Tuanku Raja Perlis\u201c yang diadakan di Shah Stable, Felda Chuping.\nDalam majlis tersebut baginda bertitah bahawa usaha yang diperlukan di negeri Perlis pada ketika ini ialah idea daripada pihak pelabur yang boleh menghasilkan produk hiliran bagi sumber sedia ada supaya dapat menjadi satu nilai tambah kepada hasil bumi serta pendapatan rakyat. Usaha untuk membangunkan bidang industri perhotelan bertaraf lima bintang dan operator pusat-pusat pelancongan bagi menampung jumlah permintaan yang tinggi dalam sektor pelancongan Perlis buat masa ini juga diperlukan. Selain itu, sokongan daripada pihak pelabur yang berhasrat untuk melabur bagi perniagaan pemula (start-up) yang diusahakan oleh anak-anak muda tempatan amat diharapkan.\nKeberangkatan tiba baginda ke majlis anjuran secara bersama oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)\u00a0 disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor.\nBaginda juga turut bertitah bahawa:\nDengan doa dan sokongan sekalian para penaja dan rakyat jelata, semoga Allah lanjutkan usia DYMM Tuanku Raja Perlis dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis agar dapat terus melaksanakan pemerintahan yang adil lagi bijaksana demi kesejahteraan rakyat dan negeri yang dicintai ini. Tambah baginda, negeri ini semakin membangun dengan pesat. Tanpa sokongan semua pihak, usaha untuk membangunkan Perlis tidak dapat dicapai dengan mudah. Sehubungan itu, diharapkan semua pihak turut merangka program dan pembangunan yang dapat dibawa ke negeri ini agar kemajuan yang di nikmati di luar negeri turut dapat di rasai oleh rakyat negeri ini." "Keluarga Malaysia Teguh Bersama Bangunkan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0Aku\nBukanlah seorang perwira\nGagah menjunjung senjata\nNamun hati rela berjuang\nWalau dengan cara sendiri\nDemi cinta ini\nKu ingin kotakan seribu janji\nSepanjang kedewasaan ini\nKu ingin sampaikan pesanan\nAku lah penyambung warisan\n(Petikan lirik lagu Warisan. Nyanyian Dato\u2019 Sudirman bin Haji Arshad)\n31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat yang semestinya\u00a0 tersemat kemas dalam jiwa setiap rakyat Malaysia. Sesungguhnya tarikh ini merupakan tarikh bersejarah apabila negara mencapai kemerdekaan dan bebas daripada cengkaman penjajah. Tahun 2022 ini genaplah 65 tahun bumi bertuah ini merdeka dan disambut penuh meriah bertemakan \u201cKeluarga Malaysia Teguh Bersama\u201d.\nPemilihan tema pada tahun ini menekankan konsep keharmonian dalam masyarakat majmuk di Malaysia yang dicetuskan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob. Antara mesej yang ingin disampaikan melalui tema ini ialah perlunya sikap bersatu padu dalam kalangan masyarakat dalam mewujudkan keharmonian sebagai pemangkin kemakmuran dan kestabilan sesebuah negara. Rakyat yang tidak bersatu padu boleh mendatangkan risiko kepada tanah air seperti perpecahan dalam masyarakat, kegawatan sosioekonomi, politik dan ketidaktenteraman.\nMeneliti\u00a0 lirik dalam lagu Warisan, liriknya menggambarkan secara jelas bahawa segenap lapisan rakyat mempunyai tanggungjawab yang sama, iaitu sebagai penyambung warisan dalam mengekalkan ekosistem keharmonian dan kesejahteraan negara kita agar sentiasa terpelihara. Jika diimbau cara kita bergelut mengharungi situasi pandemik COVID-19 selama lebih dua tahun ini, ternyata ujian getir tersebut sudah cukup menguji keteguhan dan kebersamaan kita dalam mendepani segala rintangan dan cabaran terutamanya ketika sektor ekonomi negara amat terkesan pada ketika itu.\nUmum mengetahui bahawa dalam keadaan COVID-19\u00a0 ketika itu, kerajaan perlu menampung lebih banyak perbelanjaan untuk membantu rakyat yang terkesan melalui pelaksanaan pelbagai program seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Geran Khas Prihatin (GKP), dan pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) semata-mata untuk memastikan nasib rakyat terbela dan aktiviti ekonomi negara terus berkembang.\nSelain\u00a0 itu, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) turut disalurkan kepada golongan B40 dan T20. Bantuan ini bertujuan membina semula motivasi rakyat yang rendah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Kerajaan dalam Pembentangan Belanjawan 2022 juga memperuntukkan sebanyak RM8.2 bilion untuk manfaat sebanyak 9.6 juta orang di bawah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) selain pelancaran beberapa inisiatif untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara seperti Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan Inisiatif Semarak Niaga Keluarga Malaysia yang mampu memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat untuk bangkit selepas lebih dua tahun berperang dengan wabak COVID-19.\nMungkin tidak banyak orag yang cuba\u00a0 menilai dan memahami tatacara kerajaan memperoleh sumber dana atau pendapatan dalam merencana serta melaksanakan pelan rangsangan ekonomi ini. Hakikatnya, perlu diingat bahawa hasil utama negara diperoleh daripada hasil cukai yang terbahagi kepada dua komponen, iaitu cukai langsung dan cukai tidak langsung yang cukai langsung menyumbang hampir 40% kepada belanjawan negara bagi tahun 2022. Komponen hasil cukai ini terbukti mempunyai peranan yang amat penting untuk memastikan segala projek dan pakej pembangunan yang direncanakan mampu dilaksanakan oleh kerajaan.\nBersempena dengan sambutan hari kebangsaan ini, rakyat Malaysia sering disajikan dengan tontonan filem mengenai jasa para pahlawan terdahulu yang bergadai nyawa demi keselamatan dan kedaulatan negara sebagai satu elemen penghayatan kemerdekaan. Malah, baru-baru ini juga tayangan filem Mat Kilau arahan Syamsul Yusoff berjaya menjentik semangat patriotisme dalam kalangan para penonton selain mencatatkan keuntungan luar biasa dan di luar dugaan. Namun hakikatnya, perubahan peredaran zaman menuntut kita untuk mempertahankan kedaulatan negara dengan cara tersendiri. Kalau dahulu kita dituntut supaya menyertai pasukan Rejimen Askar Tanah Melayu (RAMD) bagi menjaga keselamatan negara, tetapi kini setiap individu rakyat Malaysia mampu menjaga kedaulatan negara melalui medium percukaian.\nManfaat cukai kepada kesejahteraan negara tidak boleh dinafikan lagi kerana hasil negara yang mampan mampu menjadi benteng kepada pertahanan negara. Walaupun negara masih berperang dengan wabak COVID-19 sejak tahun 2020, tetapi rekod kutipan cukai langsung negara mencatatkan kutipan yang memberansangkan pada tahun 2021 dengan kutipan sebanyak RM 144 bilion. Data ini menunjukkan tanda positif kepada kadar tahap pematuhan cukai dalam kalangan rakyat Malaysia. Maka, kita sebagai rakyat Malaysia harus berbangga dan bersyukur dengan nikmat keamanan yang telah kita kecapi hasil sumbangan cukai selama ini.\nMenurut laporan pembentangan Bajet 2022 oleh YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan bahawa Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) masing-masing\u00a0 diperuntukkan dana sebanyak RM16 bilion dan RM17 bilion bagi tujuan memperkasakan benteng pertahanan negara, termasuklah RM1.6 bilion bagi mempertingkat kesiagaan aset utama Angkatan Tentera Malaysia dan RM14 juta untuk menggantikan peralatan utama pasukan khas laut (PASKAL) dan pasukan khas udara (PASKAU) bagi menjamin keselamatan negara.\nNilai ini tidak mampu disediakan andainya rakyat Malaysia culas dalam menjalankan tanggungjawab mereka membayar cukai kepada negara. Hasil negara merupakan benteng keamanan negara yang perlu dipertahankan. Mungkin pada hari ini kita mampu tersenyum menyaksikan anak kita bermain dengan penuh gembira, namun esok lusa belum tentu kita dapat mewariskan tanah air tercinta ini kepada anak cucu kita seandainya tanggungjawab kita melalui sumbangan cukai gagal kita laksanakan.\nMalaysia merupakan sebuah negara yang makmur dan aman dengan rakyatnya yang berbilang kaum. Rakyat Malaysia mengamalkan sikap toleransi antara satu sama lain. Sebagai penduduk negara yang bertuah ini, marilah kita bersyukur kerana telah dikurniakan nikmat kemerdekaan, keamanan, kesejahteraan dan kedamaian supaya nikmat itu berkekalan. Bersyukurlah, kerana hingga hari ini kita diberi nikmat tidur yang tenang, melakukan aktiviti sosial serta bergerak dengan bebas, keluar bekerja pada sebelah pagi dan pada petangnya balik ke rumah bertemu insan tersayang. Keselamatan dan kedaulatan negara ini dijaga dengan sepenuh hati, jiwa dan raga oleh pihak berkuasa yang semestinya tanpa mereka, lena kita tidak mungkin setenang ini, makan kita tidak mungkin senikmat ini.\nHakikat yang perlu kita terima ialah cukai merupakan bayaran yang dibuat oleh rakyat untuk kebajikan diri, terutamanya apabila menyentuh aspek keselamatan dan keamanan negara. Secara ringkasnya, konsep cukai ialah satu bentuk kerjasama antara rakyat dengan kerajaan untuk kepentingan bersama-sama apabila cukai yang diterima daripada rakyat kemudiannya akan digunakan kembali untuk manfaat rakyat. Oleh hal yang demikian, tanggungjawab membayar cukai merupakan satu cara untuk kita mensyukuri\u00a0 nikmat kemerdekaan agar\u00a0 kekal selama-lamanya hingga ke anak cucu. Setiap sen wang cukai yang dibayar diterjemahkan dalam bentuk kehidupan yang harmoni dan tenteram yang mana semuanya mampu disediakan oleh pihak kerajaan selagi mana hasil pendapatan negara\u00a0 stabil dan mencukupi.\nMensyukuri nikmat keamanan negara haruslah dibuktikan dengan tanggungjawab setiap individu untuk mendidik masyarakat sekeliling akan pentingnya kesedaran pendidikan cukai sejak dari awal lagi. Oleh hal yang demikian, HASiL sebagai sebuah agensi pentadbir cukai negara bertanggungjawab memastikan rakyat Malaysia celik cukai melalui pendidikan dan kesedaran cukai dengan memfokuskan usaha berdasarkan\u00a0 tiga (3) pendekatan utama, iaitu\u00a0 (A) Awareness, (E) Education\u00a0 (S) Services atau ringkasnya AES.\nHASiL akan terus mengamalkan tiga perkara ini dalam usaha menunjukkan peranan HASiL sebenarnya adalah sebagai pemudahcara pematuhan atau facilitator of compliance. Secara tidak langsung, melalui pendekatan ini, iharapkan tahap pematuhan pembayar cukai akan terus meningkat kerana HASiL memberikan didikan yang sempurna sejak dari awal. Nikmat keamanan ini mampu dipertahankan sekiranya seluruh rakyat Malaysia menjalankan tanggungjawab percukaian mereka secara sukarela. Hal ini demikian kerana hanya dengan cara ini sahaja negara boleh menjamin kutipan cukai yang lebih mampan.\nUsaha\u00a0 mempertahankan nikmat kemerdekaan dan keamanan ini perlulah dibuat secara berterusan. Janganlah kita menjadi generasi yang lupa akan perjalanan serta perjuangan terdahulu dengan berasa selesa dan mengambil mudah dengan apa-apa yang kita ada sekarang. Hayatilah erti sebuah kemerdekaan dan pertahankanlah negara kita dengan melaksanakan tanggungajwab sebagai pembayar cukai kepada negara. Bukan semua orang yang mampu mengangkat senjata dan berjuang di barisan hadapan. Namun, dengan sumbangan cukai yang kita salurkan pada hari ini sebenarnya mampu mempersiapkan pasukan keselamatan negara dengan kelengkapan terkini demi menjaga kedaulatan negara. Pepatah Melayu\u00a0 mengungkapkan \u201cBersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh\u201d yang memberikan seribu makna untuk kita bersama-sama membangunkan negara yang kita cintai ini melalui platform serta medium percukaian.\nMarilah sama-sama kita merapatkan saf dan berazam agar semangat Hari Kebangsaan ke-65 dengan tema \u201cKeluarga Malaysia Teguh Bersama\u201d dapat kembali menyemarakkan semangat patriotisme dalam diri kita dan menyemai budaya integriti untuk Malaysia yang lebih sejahtera demi masa hadapan generasi pewaris kita.\nMerdeka! Merdeka! Merdeka!\nDisediakan oleh:\nBahagian Komunikasi\nPejabat Ketua Pegawai Eksekutif\nLembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL)" "MATRADE Digital Learning Tingkatkan Ilmu Mengeksport\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u00a0Satu platform pembelajaran secara maya iaitu MATRADE Digital Learning (MDL) telah dilancarkan pada 8 September 2022 oleh YAB Perdana Menteri Dato\u2019 Sri Ismail Sabri bin Yaakob bersempena dengan perasmian Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2022) di MITEC, Kuala Lumpur.\nPlatform MDL merupakan usaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran mengeksport secara holistik dan pantas kepada syarikat Malaysia, termasuklah Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam industri halal.\nTerdapat 13 modul praktikal yang ditawarkan bermula daripada panduan asas mengeksport, cara untuk memenuhi kehendak pasaran dan seterusnya berjaya menerokai pasaran luar negara yang disasarkan. Sebuah anak syarikat milik Universiti Utara Malaysia dilantik untuk membangunkan modul MDL dan MATRADE juga berkolaborasi dengan Google dalam salah satu modulnya yang mengandungi panduan penggunaan produk Google.\nModul bersama-sama Google ini bertujuan\u00a0 membantu syarikat dalam perniagaan dan mengenalpasti peluang perniagaan dalam pasaran eksport serta petua untuk menarik pelanggan dalam talian. Selain itu, terdapat juga modul kesedaran berkenaan kaedah Behavioral Insights (BI) yang diterapkan dalam polisi kerajaan bagi proses merangka program berkaitan syarikat Malaysia.\nPeserta platform MDL juga berpeluang untuk menonton video perkongsian pengalaman syarikat dalam menerokai pasaran global.\u00a0 Platform MDL boleh diakses melalui\u00a0https://mdl.matrade.gov.my.\n\u201cPendigitalan merupakan agenda utama MATRADE dalam memastikan kesinambungan perniagaan eksport oleh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan meminimakan impak gangguan rantaian bekalan global. MATRADE Digital Learning dibangunkan atas dasar mempersiapkan PMKS ke pasaran antarabangsa dan seterusnya memperkukuhkan tahap daya saing pada peringkat global\u201d, dalam satu kenyataan oleh YBhg. Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE.\n\u201cDi Google, kami komited untuk memainkan peranan dalam meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia dan PKS selari dengan usaha kami untuk menuju ke arah ekonomi digital yang inklusif. Melalui perkongsian dengan MATRADE ini, adalah menjadi harapan kami bersama bahawa platform latihan ini akan melengkapkan PKS di Malaysia dengan kemahiran untuk menjadi perniagaan sedia-eksport dan meraih peluang perdagangan digital yang semakin meningkat\u201d, kata Marc Woo, Pengarah Urusan Google Malaysia." "Inisiatif Malaysia Digital Raih RM42 Bilion\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Komuniti Pelabur Mudahkan Akses Dana kepada PKS\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "60 Kuasa Ekonomi Hadir Kongres Dunia Inovasi dan Teknologi 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGeorge Town, Pulau Pinang \u2013 Selepas bertahun-tahun dinantikan, Kongres Dunia mengenai Inovasi dan Teknologi atau World Congress on Innovation and Technology (WCIT) 2022, akhirnya dilancarkan. \nMajlis Perasmian hari ini dimulakan dengan sidang kemuncak inovasi dan teknologi yang terbesar dan paling berprestij di dunia. Kongres tiga hari ini dimulakan dengan program yang akan dihadiri oleh lebih daripada 4000 orang peserta berdaftar, lebih daripada 200 orang penceramah, pemikir industri, pegawai kerajaan, ketua industri, pelabur, usahawan, ahli akademik, dan media dari lebih daripada 60 buah negara. \nKongres ini menampilkan lebih daripada 500 jenama teknologi, menduduki ruang pameran melebihi 6500 meter persegi. Selalunya dirujuk sebagai \u201cOlimpik Industri Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Global\u201c, WCIT Edisi ke-26 WITSA dihoskan di Pulau Pinang. \nKongres ini dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Tun Dato\u2019 Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, Gabenor Pulau Pinang; Yang Amat Berhormat Dato\u2019 Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia; dan Yang Amat Berhormat Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang.\nPada Majlis Perasmian, Dr. Sean Seah, Pengerusi PIKOM dan Pengerusi Penganjur WCIT 2022, dengan bangganya berkata, \u201cKongres yang sangat kompleks ini berfungsi sebagai bukti sifat dinamik WCIT, dengan pelbagai pihak berkepentingan global berkumpul untuk menjadikan edisi ini sebagai kejayaan yang memberangsangkan. Malaysia menganjurkan WCIT 2022 adalah tepat pada masanya dan tepat ketika kita menjalani pemulihan ekonomi, mendorong sempadan ke arah pendigitalan yang agresif. Kami berbangga mengalu-alukan dunia untuk merasai dan menikmati layanan Malaysia melalui teknologi, inovasi dan budaya indah kami.\u201d\nKetua Menteri Pulau Pinang Yang Amat Berhormat Chow Kon Yeow berkata, \u201cAcara global ini akan memacu pembangunan dinamik Pulau Pinang. Pulau Silikon, rumah kepada 39 buah syarikat Fortune 1000, 300 Syarikat Multinasional (MNC) dan lebih daripada 1000 buah syarikat pemula teknologi yang berkembang maju.\n\n\u201cTahun 2022 merupakan tahun perayaan bagi Pulau Pinang apabila kita memasuki ulang tahun ke-50 perindustrian. Dengan slogan \u201950 Tahun Kecemerlangan dan Seterusnya\u2019, Kerajaan Negeri Pulau Pinang berusaha meningkatkan ekosistemnya yang berdaya tahan yang mampu merangsang kemajuan industri strategik untuk 50 tahun akan datang, memastikan sumbangan berterusan Pulau Pinang dalam peta teknologi global,\u201d tegas Chow. \nWCIT 2022 ialah platform untuk merangsangkan perbualan esok; memacu kerjasama dengan ekonomi peserta lain, menerajui lonjakan kuantum transformasi melalui penggunaan teknologi, inovasi digital, dan pelaburan asing." "TNB Komited Membuat Pelaburan untuk Mempercepatkan Transformasi Digital\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Industri Perbankan Semakin Kompetitif dengan Penyertaan Bank Digital\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "20 Karya Mengungguli Pertandingan Menterjemah Piala Drs Chin Yook Chin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2212 Bersempena dengan pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 (KLWBC2020) oleh UNESCO, dan ulang tahun penubuhan PERSPEKTIF yang ke-35, Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF) berjaya menganjurkan Pertandingan Menterjemah Piala Drs Chin Yook Chin pada bulan Mac 2021. Daripada 108 penyertaan yang diterima, sebanyak 20 karya terpilih untuk menerima hadiah.\nPemenang dipilih mengikut tiga kategori, iaitu 12 orang pemenang menerima Hadiah Terjemahan Terpilih (RM100 seorang), lima orang pemenang Hadiah Terjemahan Terbaik (RM300 seorang) dan tiga orang pemenang Hadiah Terjemahan Cemerlang (RM1000 seorang).\nAspek bahasa, budaya, pengetahuan am dan kesusasteraan merupakan aspek penting dalam pemarkahan karya peserta. Antara pemarkahan yang diambil kira termasuklah terjemahan makna yang tepat, ketepatan penggunaan kata dalam bahasa Melayu terutamanya dalam konteks kata ganti diri yang betul dan penggunaan peribahasa yang sesuai.\u00a0 Di samping itu, aspek budaya dan aspek pengetahuan am peserta juga diambil kira. Contohnya, penggunaan nama tempat yang betul (\u575f\uff1dPENDAM\u2013 ialah perkataan lama, kini sudah ditukar kepada SADONG JAYA).\u00a0 Begitu juga dengan jenama jam CITIZEN, bukannya BINTANG dan lima ribu dolar US, bukannya lima ribu US Ringgit. Demikianlah antara perkara yang diberi kupasan dalam ulasan pemarkahan karya peserta.\nMajlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Menterjemah Piala Drs Chin Yook Chin yang berlangsung pada hari ini di Biro Pelancongan Kuala Lumpur 11, Jalan Tangsi, Tasik Perdana, Kuala Lumpur dimulai dengan ucapan Presiden PERSPEKTIF, Dato\u2019 Goh Hin San. Dalam majlis itu juga, Ketua Juri, iaitu Prof. Madya Dr. Goh Sang Seong, Timbalan Dekan Pusat Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM) turut memberikan ulasan pemarkahan pemenang. Ucapan perasmian pula disempurnakan oleh Ketua Sekretariat KLWBC2020, Tuan Haji Anwar Mohd Zain." "Jati Diri Bangsa Berteraskan Pendigitalan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2212 Perkembangan dunia digital yang dilihat semakin mengambil tempat di hati masyarakat pada zaman ini perlu dijadikan sebagai ruang dan peluang untuk memartabatkan dan mengembangkan bahasa Melayu ke seantero dunia.\nMenurut Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, yang juga selaku moderator program, masyarakat perlu menjadikan zaman digital ini sebagai suatu ruang dan peluang untuk memindahkan bahasa Melayu ke dalam bentuk yang lebih mesra pengguna.\nMenurut beliau, cerita daripada hikayat lama perlu dianimasikan ke dalam bentuk digital. Katanya lagi, kaedah pendigitalan bahasa Melayu merupakan satu kaedah untuk menyemai jati diri bahasa Melayu ke dalam diri generasi muda.\nDatuk Zainal Abidin Borhan, iaitu Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan pula berpendapat bahawa masyarakat seharusnya menggunakan potensi media sosial melalui kaedah penganimasian pantun, komik dan karya sastera, terutamanya sastera kanak-kanak. \nJanganlah menjadi seperti sekerat ular sekerat belut \u2212 umpama bahasa yang tidak mempunyai roh dan akar umbi. Oleh itu, masyarakat perlu memantapkan dan mengukuhkan jati diri bahasa Melayu melalui kaedah pendigitalan. Jati diri bahasa Melayu perlu dikukuhkan agar \u201ctidak terlantar di tepi jalan\u201d.\nSementara itu, Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw, iaitu Pengarah Bahagian Hal Ehwal Korporat UPNM pula berkata, antara cara untuk mengurangkan kehakisan bahasa Melayu adalah dengan membanyakkan ikon seperti pensyarah yang sentiasa menggunakan bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi. Selain itu, juruhebah radio dan pempengaruh juga dapat memainkan peranan mereka dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.\nBagi Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Haji Samsudin, iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pula, memartabatkan bahasa Melayu pada hari ini cukup besar cabarannya berbanding dengan 10 tahun yang lalu. Hal ini disebabkan oleh cabaran media sosial, iaitu pendigitalan dunia tanpa sempadan dapat menyaksikan bahawa penggunaan bahasa\u00a0 Melayu pada hari ini semakin ringkas terutamanya dalam kalangan anak muda.\nPada masa dahulu, golongan tua sering menasihatkan orang muda agar sentiasa menggunakan bahasa Melayu dengan baik. Namun begitu, kini keadaan agak berbeza apabila ada dalam kalangan orang muda pula yang menunjukkan penggunaan bahasa yang lebih baik berbanding dengan golongan tua. Hal ini menunjukkan bahawa jati diri kita semakin terhakis sedikit demi sedikit. Maka itu, seharusnya kita perlu ada pendekatan yang kreatif dan di luar kotak supaya anak muda berminat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai lambang jati diri mereka.\nDemikianlah antara penerangan menarik daripada para panel jemputan yang bersiaran menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 9.00 malam tadi dalam Rancangan Sembang Tamu: \u201cBahasa Melayu di Persada Dunia\u201c." "Selamat Tinggal Bahan Pencemar Berbahaya, Selamat Datang Udara Lebih Bersih dan Segar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sambil menempuh fasa endemik dengan kebimbangan yang wujud akibat peningkatan kes COVID-19, usaha melindungi kualiti udara rumah dan pejabat anda kini menjadi satu kepentingan. Kita tidak harus leka dalam usaha menyediakan persekitaran hidup yang paling selamat untuk ahli keluarga kami.\nMenurut Laporan Alam Sekitar [Reports on Environment] (ROE) Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika [American Environmental Protection Agency] (EPA), udara dalaman adalah antara dua hingga lima kali lebih tercemar daripada udara luar dan merupakan antara 5 risiko alam sekitar kepada kesihatan awam. Antara sebabnya termasuklah aliran udara dalaman tidak beredar sekerap udara luar, lantas bahan pencemar udara seperti habuk, bulu haiwan peliharaan, debunga, hama habuk dan virus, dan bakteria biologi lain terus berkembang biak di ruang dalam.\n\nAntara pencemar udara lain, termasuklah asbestos \u2013 digunakan sebagai bahan penebat paip, jubin lantai dan bahan binaan bangunan, karbon monoksida \u2013 yang ditemui dalam lampu kerosin dan pemanas gas, racun perosak \u2013 yang sering digunakan di rumah untuk menyingkirkan serangga dan haiwan perosak lain, asap sampingan daripada rokok, dan sebatian organik meruap \u2013 seperti cat, pengawet kayu, semburan aerosol, penyegar udara dan juga disinfektan.\nUntuk memastikan udara dalaman bebas daripada semua bentuk bahan pencemar berbahaya yang tidak boleh dikesan oleh mata kasar, penulen udara ialah penyelesaian terbaik bagi menangani masalah ini. Penulen udara sudah lama terbukti menyegarkan udara hapak dan meningkatkan kualiti udara dalaman dengan ketara. Alat ini juga didapati mengurangkan masalah kesihatan yang berpunca daripada bahan pencemar, seperti jangkitan pernafasan, asma dan juga kerengsaan mata, hidung dan tekak. Kualiti udara kurang baik boleh menyebabkan sakit kepala, kelesuan atau ruam kulit akibat alahan atau bahan pencemar tertentu.\nMalah, penulen udara memang sudah biasa digunakan di dalam rumah kerana kepelbagaian manfaatnya. Sejak sebelum pandemik COVID-19, penulen udara telah membantu banyak rakyat Malaysia meningkatkan kualiti udara di dalam rumah masing-masing. Selain menambah baik kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan, penulen udara juga menyingkirkan acuan dari udara, memerangkap debunga daripada tumbuh-tumbuhan dalam atau luaran, meneutralkan bau kurang menyenangkan dan meningkatkan kualiti tidur keseluruhan. Alat ini juga didapati berupaya menapis bahan pencemar yang tidak boleh dibersihkan menerusi pencucian harian.\nDalam satu laporan teknologi yang mengkaji pertumbuhan Pasaran Penulen Udara di Malaysia, didapati bahawa pasaran penulen udara Malaysia bernilai lebih daripada USD68 juta pada tahun 2020 dan dijangka berkembang pada kadar 5.41% dalam tempoh dari tahun 2022 hingga 2026*. Kajian ini\u00a0 membuktikan bahawa pemilikan penulen udara adalah satu keperluan dan pemilihan penulen yang paling sesuai bagi memenuhi keperluan harian anda juga tidak kurang pentingnya.\nSalah satu daripada penulen udara utama di pasaran Malaysia yang terbukti mampu membasmikan dan menyingkirkan 99.999% daripada bahan pencemar ialah penulen udara daripada jenama Coway.\u00a0 Antara produk yang mendapat sanjungan ramai ialah penulen udara Lombok III dan Storm yang sudah sekian lama diyakini dan digunakan untuk membersihkan udara di banyak rumah. Apa yang menjadikan penulen udara ini sungguh unik dan berkesan ialah penapis Double HEPA, penapis piawaian emas yang terbukti membasmi 99.999% daripada virus berbahaya, termasuklah varian Omicron COVID-19 yang sangat berjangkit dan juga Koronavirus Manusia.\nBaru-baru ini, Coway juga melancarkan Noble \u2013 penulen udara berteknologi pintar serba baharu.\u00a0 Dengan reka bentuk pemenang anugerah bertaraf dunia, Noble ialah penulen udara yang perlu dimiliki untuk menyegarkan ruang dalam rumah. Selain tampak mewah dan anggun, alat canggih ini boleh meningkatkan kualiti udara dan kesihatan keseluruhan dengan ketara.\nProses ini dilakukan dengan lima jenis penapis berbeza yang dilengkapi dengan pensterilan UVC tambahan dalam sistem penapisan enam langkah unik yang dibina di dalam penulen udara Noble. Reka bentuk unik ini membekalkan aliran udara tetap yang lebih tulen dan bersih.\nBagaimanakah proses ini berfungsi? Langkah pertama ialah prapenapis 4D yang dapat menyingkirkan zarah habuk besar, helaian rambut dan bulu haiwan peliharaan. Kedua ialah Penapis Asap yang menghalang gas-gas berbahaya seperti Nitrogen Dioksida (NO2) manakala langkah ketiga mengurangkan alergen daripada anjing dan kucing dan juga kutu habuk dengan Penapis Alergen. Langkah 4 merangkumi Penapis Penyahbauan yang menghilangkan bau busuk dan gas berbahaya. Seterusnya dalam langkah 5, Penapis Double HEPA 4D bersedia menyahaktifkan sehingga 99.999% virus termasuk varian Omicron COVID-19, Influenza A (H1N1) dan Koronavirus Manusia. Akhir sekali, Pensterilan UVC menyahaktifkan hingga 99.9% bakteria seperti E. Coli.\nPenapis udara yang bergaya ini juga menggunakan penapis reka 4D pertama yang membekalkan tahap penulenan 360\u00b0, yang direka khas untuk memerangkap, membersihkan dan mengalirkan udara dari setiap arah. Penulen udara Noble juga menggabungkan teknologi pintar terkini dengan melaporkan kualiti udara secara langsung. Petunjuk LED menyala pada bahagian atas penulen memaklumkan pengguna dengan empat warna berbeza untuk menyatakan tahap pencemaran udara dalaman semasa. Petunjuk akan menyala dalam warna biru untuk baik, hijau untuk biasa, kuning untuk kurang baik dan merah untuk teruk.\nPenulen udara ini juga dilengkapi dengan sensor habuk, cahaya dan gas dengan empat penetapan mod \u2013 smart (pintar), turbo, silent (senyap) dan eco (mesra alam). Seberat 15kg dan berukuran 320mmx 320 x 805mm (lebar x diameter x tinggi), penulen udara anggun ini boleh dimuatkan di mana-mana, walaupun dalam ruang yang kecil, tanpa sebarang masalah.\nHakikatnya, benda yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar tidak bererti ia tidak wujud!\nUntuk butiran lanjut, kunjungi www.coway.com.my bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci tentang rangkaian penulen udara Coway." "Selamat Tinggal Bahan Pencemar Berbahaya,Selamat Datang Udara Lebih Bersih dan Segar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sambil menempuh fasa endemik dengan kebimbangan yang wujud akibat peningkatan kes COVID-19, usaha melindungi kualiti udara rumah dan pejabat anda kini menjadi satu kepentingan. Kita tidak harus leka dalam usaha menyediakan persekitaran hidup yang paling selamat untuk ahli keluarga kami.\nMenurut Laporan Alam Sekitar [Reports on Environment] (ROE) Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika [American Environmental Protection Agency] (EPA), udara dalaman adalah 2-5 kali lebih tercemar daripada udara luar dan merupakan antara 5 risiko alam sekitar kepada kesihatan awam. Antara sebabnya ialah aliran udara dalaman tidak beredar sekerap udara luar, lantas bahan pencemar udara seperti habuk, bulu haiwan peliharaan, debunga, hama habuk dan virus dan bakteria biologi lain terus berkembang biak di ruang dalam.\nAntara pencemar udara lain termasuk asbestos \u2013 digunakan sebagai bahan penebat bagi paip, jubin lantai dan bahan binaan bangunan, karbon monoksida \u2013 yang ditemui dalam lampu kerosin dan pemanas gas, racun perosak \u2013 yang sering digunakan di rumah untuk menyingkirkan serangga dan haiwan perosak lain, asap sampingan daripada rokok, dan sebatian organik meruap \u2013 seperti cat, pengawet kayu, semburan aerosol, penyegar udara dan juga disinfektan.\nUntuk memastikan udara dalaman bebas daripada semua bentuk bahan pencemar berbahaya yang tidak boleh dikesan oleh mata kasar, penulen udara ialah penyelesaian terbaik bagi menangani masalah ini. Penulen udara sudah lama terbukti menyegarkan udara hapak dan meningkatkan kualiti udara dalaman dengan ketara. Alat ini juga didapati mengurangkan masalah kesihatan yang berpunca daripada bahan pencemar, seperti jangkitan pernafasan, asma dan juga kerengsaan mata, hidung dan tekak. Kualiti udara kurang baik boleh menyebabkan sakit kepala, kelesuan atau ruam kulit akibat alahan atau bahan pencemar tertentu.\nMalah, penulen udara memang sudah biasa digunakan di dalam rumah kerana kepelbagaian manfaatnya. Sejak sebelum pandemik COVID-19, penulen udara telah membantu ramai rakyat Malaysia meningkatkan kualiti udara di dalam rumah masing-masing. Selain daripada menambah baik kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan, penulen udara juga menyingkirkan acuan dari udara, memerangkap debunga dari tumbuh-tumbuhan dalam atau luaran, meneutralkan bau kurang menyenangkan dan meningkatkan kualiti tidur keseluruhan. Alat ini juga didapati berupaya menapis bahan pencemar yang tidak boleh dibersihkan menerusi pencucian harian.\nDalam satu laporan teknologi yang mengkaji pertumbuhan Pasaran Penulen Udara di Malaysia, didapati bahawa pasaran penulen udara Malaysia bernilai lebih daripada USD68 juta pada 2020 dan dijangka berkembang pada kadar 5.41% dalam tempoh 2022-2026*. Kajian ini\u00a0 membuktikan bahawa pemilikan penulen udara adalah satu keperluan dan pemilihan penulen yang paling sesuai bagi memenuhi keperluan harian anda juga tidak kurang pentingnya.\nSalah satu daripada penulen udara utama di pasaran Malaysia yang terbukti mampu membasmi dan menyingkirkan 99.999% daripada bahan pencemar ialah penulen udara daripada jenama Coway.\u00a0 Antara produk yang mendapat sanjungan ramai ialah penulen udara Lombok III dan Storm yang sudah sekian lama diyakini dan digunakan untuk membersihkan udara di banyak rumah. Apa yang menjadikan penulen udara ini sungguh unik dan berkesan ialah penapis Double HEPA, penapis piawaian emas yang terbukti membasmi 99.999% daripada virus berbahaya, termasuk varian Omicron COVID-19 yang sangat berjangkit dan juga Koronavirus Manusia.\nBaru-baru ini, Coway juga melancarkan Noble \u2013 penulen udara berteknologi pintar serba baharu.\u00a0 Dengan reka bentuk pemenang anugerah bertaraf dunia, Noble ialah penulen udara yang perlu dimiliki untuk menyegarkan ruang dalam rumah. Selain daripada tampak mewah dan anggun, alat canggih ini boleh meningkatkan kualiti udara dan kesihatan keseluruhan dengan ketara.\nProses ini dilakukan dengan lima jenis penapis berbeza yang dilengkapi dengan pensterilan UVC tambahan dalam sistem penapisan 6-langkah unik yang dibina di dalam penulen udara Noble. Reka bentuk unik ini membekalkan aliran udara tetap yang lebih tulen dan bersih.\nBagaimana proses ini berfungsi? Langkah pertama ialah prapenapis 4D yang dapat menyingkirkan zarah habuk besar, helaian rambut dan bulu haiwan peliharaan. Kedua ialah Penapis Asap yang menghalang gas-gas berbahaya seperti Nitrogen Dioksida (NO2) manakala langkah ketiga mengurangkan alergen daripada anjing dan kucing dan juga kutu habuk dengan Penapis Alergen. Langkah 4 merangkumi Penapis Penyahbauan yang menghilangkan bau busuk dan gas berbahaya. Seterusnya dalam langkah 5, Penapis Double HEPA 4D bersedia menyahaktifkan sehingga 99.999% virus termasuk varian Omicron COVID19, Influenza A (H1N1) dan Koronavirus Manusia. Akhir sekali, Pensterilan UVC menyahaktifkan sehingga 99.9% bakteria seperti E. Coli.\nPenapis udara yang bergaya ini juga menggunakan penapis reka 4D pertama yang membekalkan tahap penulenan 360\u00b0, yang direka khas untuk memerangkap, membersihkan dan mengalirkan udara dari setiap arah. Penulen udara Noble juga menggabungkan teknologi pintar terkini dengan melaporkan kualiti udara secara langsung. Petunjuk LED menyala pada bahagian atas penulen memaklumkan pengguna dengan empat warna berbeza untuk menyatakan tahap pencemaran udara dalaman semasa. Petunjuk akan menyala dalam warna biru untuk baik, hijau untuk biasa, kuning untuk kurang baik dan merah untuk teruk.\nPenulen udara ini juga dilengkapi dengan sensor habuk, cahaya dan gas dengan empat penetapan mod \u2013 smart (pintar), turbo, silent (senyap) dan eco (mesra alam). Seberat 15kg dan berukuran 320 x 320 x 805mm (lebar x diameter x tinggi), penulen udara anggun ini boleh dimuatkan di mana-mana, walaupun dalam ruang yang kecil, tanpa sebarang masalah.\nUntuk butiran lanjut, kunjungi www.coway.com.my bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci tentang rangkaian penulen udara Coway." "Kenaikan OPR Bakal Mempengaruhi Trend Pembelian Rumah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Gentari Komited Pacu Tenaga Lebih Bersih\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "AirAsia Mahu Kembangkan Operasi di Indonesia dan Filipina\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "TOURLIST Ganti Sistem Pelesenan Industri Pelancongan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan melancarkan Sistem Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan atau Tourism Licensing and Enforcement System\u00a0(TOURLIST) yang bakal menggantikan Sistem Pelesenan Industri Pelancongan (SPIP) bermula 1 November 2022.\nInisiatif projek pembangunan Sistem TOURLIST ini bertepatan dengan landskap industri pelancongan negara yang terus berkembang dan berubah seiring dengan perkembangan teknologi digital seperti data raya, business intelligent\u00a0dan pelbagai inovasi pintar yang lain.\nDalam merealisasi agenda ini, MOTAC akan menutup Sistem SPIP sedia ada bermula 1 Oktober 2022 untuk memberi laluan kepada fasa\u00a0deployment\u00a0sistem TOURLIST yang dijangka\u00a0Go-Live\u00a0pada 1 November 2022. Selaras dengan penutupan ini, urusan pelesenan industri pelancongan akan beroperasi seperti berikut:\nMOTAC sentiasa menyokong proses pendokumentasian dan pembudayaan kerja secara dalam talian yang dilihat sebagai sebahagian usaha transformasi cara kerja secara manual kepada bentuk digital. Pengadaptasian teknologi ini menyumbang kepada peningkatan kualiti penyampaian, menjamin kelestarian ekosistem serta memperluaskan kebolehcapaian kepada produk serta perkhidmatan pelancongan dan kebudayaan." "Lawatan Delegasi Lang International Corporate Titan Awards ke Parlimen\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Delegasi Lang International Corporate Titan Awards (LICTA) yang diketuai oleh YBhg. Dato\u2019 Lee Chee Weng, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan LICTA telah mengadakan lawatan ke Parlimen pada pagi ini. Lawatan itu disambut oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, YB Dato\u2019 Haji Mohd Rashid Hasnon.\nLawatan itu bertujuan untuk bertukar-tukar idea dan pendapat tentang keadaan industri, ekonomi dan pembentangan belanjawan yang bakal diumumkan oleh kerajaan tidak lama lagi. Melalui delegasi tersebut, para usahawan yang hadir memberikan pendapat mereka tentang cabaran yang dihadapi oleh pemain industri susulan pasca COVID-19. Antara cabaran yang dihadapi oleh mereka ialah kekurangan tenaga kerja mahir dan cekap, penggunaan teknologi baharu yang masih belum matang dengan industri, kesukaran untuk mendapatkan bekalan barangan dari luar negara dan lain-lain lagi.\nDalam pertemuan itu, mereka juga telah memberikan beberapa idea yang bernas untuk mengatasi masalah itu dan berharap agar pihak kerajaan dapat mempertimbangkan idea mereka. Antara idea yang diutarakan oleh mereka ialah mereka mahu memperluaskan penggunaan teknologi kecerdasan buatan, membuat program peningkatan kemahiran pekerja dan lain-lain lagi.\nYB Dato\u2019 Haji Mohd Rashid Hasnon menyambut baik cadangan tersebut dan bersedia untuk mempertimbangkannya serta membawa\u00a0 cadangan tersebut kepada pihak yang berwajib. Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara mesra pelabur dan mahu menarik lebih ramai pelabur untuk melabur di Malaysia." "Kunjungan Hormat Usahawan LICTA ke Dewan Bahasa dan Pustaka\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerima kunjungan hormat delegasi usahawan Lang International Corporate Titan Awards (LICTA) petang tadi.\nDelegasi LICTA yang diketuai oleh YBhg. Dato\u2019 Lee Chee Weng, Pengarah Eksekutif Sahabat SMI Consulting Sdn Bhd yang menguruskan LICTA untuk usahawan disambut mesra oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan dan Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran.\nKunjungan hormat delegasi LICTA ke DBP adalah untuk membincangkan peluang kerjasama bagi pelaksanaan program dan projek penerbitan antara usahawan bukan Bumiputera bersama-sama DBP.\nDalam kunjungan hormat tersebut, delegasi LICTA diperkenalkan dengan satu daripada produk DBP, iaitu JendelaDBP. DBP membangunkan JendelaDBP yang merupakan pelantar penerbitan digital DBP untuk memartabatkan penerbitan berbahasa kebangsaan.\nJendela DBP menghimpunkan penerbitan artikel, cerpen dan puisi dalam majalah Dewan Ekonomi, Dewan Sastera,\u00a0Dewan Bahasa,\u00a0Tunas Cipta,\u00a0Dewan Masyarakat,\u00a0Dewan Tamadun Islam, dan Dewan Kosmik. Secara keseluruhannya, pendigitalan cara kerja dan penerbitan digital di DBP merupakan teknologi baharu memartabatkan bahasa Melayu, selain mengekalkan penerbitan 11 buah majalah terbitan DBP secara bulanan.\nTaklimat berkaitan dengan JendelaDBP, khususnya berkaitan dengan Dewan Ekonomi\u00a0 disampaikan oleh Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar.\u00a0 Dalam kunjungan hormat tersebut, delegasi LICTA turut diundang untuk merebut peluang penulisan dengan DBP melalui majalah bercetak dan JendelaDBP." "Belanjawan 2023 Pemulihan Ekonomi dan Pertumbuhan Mampan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Eksport Malaysia Meningkat 48% kepada RM141 Bilion pada Ogos\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Didik dan Tegur Melalui Ungkapan Haiwan dalam Peribahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2212 Terdapat banyak takrifan tentang peribahasa daripada para cendekiawan dan diungkapkan oleh pakar bahasa dan sastera. Peribahasa merupakan kata-kata ringkas dan mengandungi maksud yang mendalam. Melaluinya, orang yang mendengarnya akan dapat memahami apa-apa yang dimaksudkan tanpa memerlukan penjelasan yang panjang, iaitu cukup sekadar beberapa patah perkataan.\nSehubungan dengan itu, bagi meningkatkan kefahaman masyarakat berkaitan dengan peribahasa Melayu, khususnya penggunaan haiwan dan kaitannya dengan orang Melayu, maka Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyiarkan Rancangan Bicara Karyawan: \u201cHaiwan dalam Peribahasa Melayu\u201d yang menampilkan Puan Wan Norasyikin Wan Ismail, iaitu Perancang Bahasa dari Bahagian Penyelidikan Bahasa. Beliau memberikan kupasan yang menarik mengenai hasil penulisannya itu yang bersiaran secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 10.00 pagi.\nMenurut beliau, orang Melayu menggunakan haiwan untuk menjelaskan sesuatu perkara kerana kehidupan orang Melayu sangat dekat dengan haiwan. Selain diternak sebagai sumber makanan, haiwan ternakan seperti ayam, itik, kerbau dan lembu juga menjadi sumber ekonomi. Hasil pengamatan terhadap haiwan tersebut telah dijadikan perbandingan atau perlambangan masyarakat terdahulu untuk mereka menegur atau mendidik masyarakat. Hasilnya, penggunaan ungkapan haiwan memudahkan kefahaman masyarakat. \nPemerhatian dan kajian secara mendalam tentang habitat haiwan dilakukan sebelum terciptanya sesuatu peribahasa yang akhirnya mengaitkannya dengan perangai dan kelakuan manusia. Sebagai contoh, peribahasa \u201cBagai melepaskan anjing yang tersepit\u201d merujuk situasi anjing yang berada dalam keadaan terdesak, iaitu apabila dilepaskan daripada kesusahan, maka ia akan lari atau menggigit orang yang membantunya pula. Perbandingan dengan manusia pula adalah apabila seseorang itu sudah senang, ada yang tidak mengenang budi terhadap orang yang membantunya ketika susah dahulu.\nTambahnya lagi, buku Haiwan dalam Peribahasa Melayu yang ditulisnya merupakan himpunan haiwan-haiwan yang terdapat dalam peribahasa Melayu. Terdapat 80 spesies haiwan yang sering digunakan dalam peribahasa Melayu, termasuklah 35 jenis ikan, 37 jenis unggas dan burung, ayam, itik dan sebagainya. Haiwan-haiwan ini bukan sahaja hidup di darat malah di dalam air, di dalam tanah dan juga terbang di udara. Jumlahnya sangat banyak dan adalah rugi jika tidak dijadikan sebuah buku dan diterbitkan sebagai panduan dan rujukan kepada pelajar, guru, dan masyarakat.\nMenurut Puan Wan Norasyikin, untuk mengumpul peribahasa yang berkaitan dengan haiwan ini bukanlah mudah. Beliau mengambil masa yang agak lama, iaitu lebih dari dua tahun untuk mengumpul dan membuat kajian berkaitan dengan habitat haiwan-haiwan yang digunakan sebagai ungkapan dalam peribahasa.\nPengumpulan bahan tersebut berdasarkan hasil bacaannya daripada sumber artikel, majalah dan sebagainya. Selain Malaysia, beliau turut memperoleh data tersebut daripada pelbagai koleksi buku peribahasa dari Alam Melayu yang lain seperti Indonesia, Brunei dan Singapura. \nSaya juga mencari data berkenaan di pangkalan data ATMA, Universiti Kebangsaan Malaysia dan juga pangkalan data korpus DBP dan Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) serta Kamus Dewan. Saya perlu merujuk leksikal haiwan tersebut sama ada ia wujud atau tidak dan juga menemu bual orang-orang yang pakar tentang peribahasa haiwan ini. Hasilnya, sejumlah data dapat dikumpulkan dan dapat diterbitkan menjadi sebuah buku.\nMenurutnya lagi, terdapat banyak peribahasa yang sudah diadakan dalam kamus atau korpus namun jarang-jarang digunakan oleh generasi sekarang. Oleh itu, antara tujuan buku ini diterbitkan juga adalah untuk mengembalikan semula haiwan-haiwan yang jarang-jarang dijumpai sekarang ini. Sebagai contoh, peribahasa \u201cDiam-diam lepu\u201c menggunakan nama ikan lepu, iaitu sejenis ikan laut. Contoh yang lain ialah \u201cikan gemi\u201c dan \u201cikan belukang\u201c. Katanya lagi, banyak juga orang Melayu yang mencipta peribahasa berdasarkan ikan air tawar dan bukannya ikan tasik atau ikan sungai." "Belanjawan 2023 Dijangka Lebih Besar untuk Memulihkan Ekonomi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBeliau turut menjangkakan senarai geran latihan, projek teknologi dan program berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) akan diumumkan. \u201cSyarikat perunding yang berkaitan dengan kerajaan akan diberi peruntukan yang besar untuk melaksanakan skim, bagaimanapun kerajaan harus memantau sejauh mana syarikat itu mewujudkan lebih banyak pekerjaan, kesan pengganda kepada ekonomi dan komuniti perniagaan serta faedah kepada masyarakat.\u201c\u00c2" "Bersara dengan Tenang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRamai pekerja yang kurang cakna atau tidak tahu akan kepentingan surat penyelesaian cukai (SPC) sekiranya mereka akan berhenti kerja atau bersara kelak. Sebagai pekerja yang bertanggungjawab, kita seharusnya tahu tindakan yang perlu diambil supaya amaun ganjaran dan manfaat yang akan dinikmati selepas bersara atau berhenti kerja diperoleh dengan segera dan amaun tersebut tidak dipotong untuk menjelaskan apa-apa cukai tertunggak akibat kegagalan melaporkan pendapatan terdahulu sebelum berhenti kerja.\u00a0 Mungkin ramai tertanya-tanya apa yang perlu dilakukan khususnya berkaitan percukaian sekiranya ingin menamatkan perkhidmatan bersama majikan sekarang.\nRencana ni akan menjawab persoalan yang sering ditanya mengenai perkara ini.\n\u00a0\n\u00a0\nHendak Meninggalkan Malaysia; Bagaimana pula dengan tanggungjawab pekerja dalam isu SPC ini? Perkongsian artikel ini diharapkan dapat menjadi panduan dan dimanfaatkan sewajarnya oleh para majikan dan pekerja di luar sana yang masih ragu-ragu mengenai perkara ini.\u00a0 Semoga kelestarian hasil cukai akan dimanfaatkan bersama demi membina #KeluargaMalaysia yang lebih makmur dan sejahtera. Sebarang pertanyaan serta maklum balas boleh dimajukan kepada HASiL melalui:\n\u00a0Hasil Care Line (HCL) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);" "Pekebun Getah Perlis Disarankan untuk Meningkatkan Pengeluaran Getah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013\u00a0Pengarah RISDA negeri Perlis, Nor Afzami Isa mempersembahkan makluman kepada Raja Muda Perlis,\u00a0 Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena keberangkatan baginda ke Program Hari Terbuka Keluarga RISDA Negeri Perlis 2022.\nBeliau menyatakan bahawa pejabat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) negeri Perlis berharap agar para pekebun kecil getah di negeri Perlis terus kekal dalam memastikan kebun getah tanam semula\u00a0 mengikut amalan pertanian baik (GAP) dan diurus dengan baik sehingga boleh mengeluarkan hasil menjelang tempoh empat tahun setengah ke lima tahun. Selain itu juga, pekebun harus memastikan kebun getah matang ditoreh bagi membantu meningkatkan pengeluaran getah negara.\nInisiatif dan kaedah sistem penyampaian berkesan kepada masyarakat luar bandar khususnya pekebun kecil getah di negeri Perlis itu dianjurkan bertujuan untuk memastikan para pekebun kecil menerima maklumat yang cepat dan tepat berkaitan peranan dan fungsi RISDA dan Kumpulan RISDA Holdings (KRH). Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail juga telah turut berkenan untuk merasmikan \u201cHevea Lounge\u201c jabatan berkenaan dalam majlis yang dihadiri seramai 300 orang pekebun kecil dan Usahawan Bimbingan RISDA negeri Perlis pada kali ini.\nNor Afzami Isa turut menyatakan bahawa objektif RISDA dalam Model Perancangan Strategik RISDA (MPSR) tahun 2021-2025 ialah memastikan para pekebun kecil memperoleh purata pendapatan kolektif RM4500 sebulan sekeluarga menjelang tahun 2025. Tambah beliau lagi, kini terdapat seramai 435 orang Usahawan Bimbingan RISDA negeri Perlis yang bergiat aktif dalam menjalankan aktiviti perniagaan dalam bidang masing-masing iaitu dalam sektor makanan, perkhidmatan, pembuatan dan pertanian." "Inflasi Ogos 2022 Mencecah 4.7%\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Rizab Antarabangsa BNM Sebanyak USD106.3 Bilion pada September 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Penebusan Penuh Sukuk Prihatin, Sukuk Digital Pertama Malaysia yang Meraih Pelbagai Anugerah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz Menteri Kewangan Malaysia mengumumkan bahawa \u00a0tempoh matang dua tahun Sukuk Prihatin yang dilancarkan pada 22 September 2020. Sukuk Prihatin ditubuhkan selepas menerima permintaan dari pelbagai pihak untuk turut bersama-sama membantu dalam usaha pemulihan negara ketika Malaysia dilanda pandemik COVID-19. Sukuk tersebut\u00a0 ditebus sepenuhnya pada 22 September 2022.\nTerbitan Sukuk Prihatin telah ditambah sebanyak RM166 417 500.00 ekoran sambutan yang amat menggalakkan dan telah dilanggan oleh 2436 pembeli individu dan korporat dengan jumlah keseluruhan terbitan sebanyak RM666 417 500.00 Jumlah terbitan telah disalurkan bagi membiayai sebahagian perbelanjaan di bawah Kumpulan Wang COVID-19, termasuklah pinjaman mikro kredit di bawah Bank Simpanan Nasional dan TEKUN Nasional, bantuan khas untuk pelajar institusi pendidikan tinggi, kempen e-Dagang bagi PKS dan perusahaan mikro serta pelbagai perbelanjaan berkaitan kesihatan awam dalam usaha membendung pandemik COVID-19.\nSukuk Prihatin telah diktiraf kerana ciri inovatifnya yang menggabungkan unsur digital, pelaburan runcit dan tujuan amal. Sukuk Prihatin juga memenangi pelbagai anugerah termasuk Urus Niaga Terbaik Keseluruhan Tahun 2020, Urus Niaga Paling Inovatif Tahun 2020 dan Urus Niaga Terbaik Malaysia Tahun 2020 oleh Islamic Finance News. Selain itu, ia telah diiktiraf sebagai Sukuk Digital Terbaik oleh Alpha Southeast Asia di Anugerah Tawaran & Solusi Terbaik Tahunan 2020 ke-14. Maybank merupakan bank pengedar utama Sukuk Prihatin yang boleh diakses melalui platform perbankan digital 27 bank di Malaysia. Pelabur runcit telah melanggan dengan jumlah serendah RM500.00 untuk menyokong usaha pemulihan negara.\nKerajaan ingin merakamkan penghargaan kepada mereka yang telah melanggan sukuk tersebut, khususnya kepada 95 pemegang Sukuk Prihatin yang memilih untuk menyumbangkan amaun prinsipal kepada Kerajaan. Bagi memartabatkan semangat Keluarga Malaysia, Kerajaan akan menyalurkan keseluruhan sumbangan berjumlah\nRM2 599 400.00 kepada Akaun Amanah Bencana, yang akan menyokong antara lain, pembaikan infrastruktur dan kemudahan awam yang rosak serta bantuan kewangan untuk mangsa bencana alam.\nPenghargaan Kerajaan bukan sahaja ditujukan kepada semua pemegang sukuk, tetapi juga kesemua ahli-ahli Keluarga Malaysia yang telah sama-sama menyokong negara menangani isu kesihatan awam dan ekonomi semasa kemuncak pandemik." "Sukuk Prihatin Boleh Ditebus\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Agensi Pemudah Cara Sokong Pemulihan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Coway dan Pemuliharaan Terumbu Karang Pulau Tioman\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0 \u2013 Coway\u00a0 menunjukkan semangat \u201cCowayian\u201d (Warga Coway) sebenar apabila syarikat Best Life Solution tersebut berganding bahu bersama-sama Reef Check Malaysia untuk menjayakan program pemuliharaan terumbu karang di Pulau Tioman baru-baru ini.\nProgram yang turut disertai oleh para pelanggan setia dan kakitangan Coway, acara Coway EcoCamp 2022 menyaksikan rombongan peserta mengunjungi salah satu tapak pemuliharaan karang Reef Check Malaysia.\nTapak pemuliharaan terumbu karang Coway yang terletak di Kampung Tekek,\nberhampiran Pusat Taman Marin dan bersebelahan Jeti Marine Park, Pulau Tioman.\nProgram kesedaran ini, termasuklah kunjungan ke lokasi untuk melihat tahap tumbesaran 400 anak karang yang telah ditanam oleh Coway pada awal tahun ini. Pasukan ini juga berkesempatan untuk mengamati pemandangan indah tapak karang Coway yang kini dipenuhi dengan karang yang sihat dan hidupan laut. Selain\u00a0 pemuliharaan karang, pasukan EcoCamp Coway juga menjalankan pembersihan pantai di Kampung Tekek, Pulau Tioman.\nKakitangan dan pelanggan setia Coway membersihkan pantai bersama-sama semasa menyertai Coway EcoCamp 2022 yang diadakan baru-baru ini. Program tersebut merupakan EcoCamp pertama anjuran Coway, yang dilaksanakan di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat\u00a0 dengan matlamat untuk menyebarkan kesedaran tentang pemuliharaan alam sekitar.\nProgram Pemuliharaan Terumbu Karang ini merupakan satu daripada komitmen Coway untuk menjadikan dunia tempat yang lebih indah untuk dihuni, bukan sahaja menggalakkan kehidupan sihat tetapi juga menerusi pemuliharaan alam sekitar dan ekosistem.\nHal ini sejajar dengan wawasan syarikat untuk mewujudkan persekitaran kehidupan lebih sihat untuk seluruh masyarakat. Pemuliharaan terumbu karang amat penting kerana terumbu memainkan peranan penting dalam ekosistem marin. Selain bertindak sebagai tempat tinggal, terumbu merupakan sumber makanan bagi pelbagai hidupan laut. Pada masa yang sama, terumbu karang melindungi kawasan pantai daripada ribut dan hakisan, menyokong ekologi pulau dan membuka peluang pekerjaan bagi para penduduk tempatan pulau ini.\n\nCoway yakin bahawa inisiatif memulihara alam sekitar dan mencetus perubahan\npada hari ini akan membina hari esok yang lebih indah. \u201cMenerusi EcoCamp ini, Coway berharap untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan perlindungan alam sekitar sambil berusaha mendorong lebih ramai orang dan organisasi korporat lain untuk memainkan peranan mereka dalam pemuliharaan alam sekitar. Coway yakin bahawa tindakan untuk memulihara alam sekitar dan mencetus perubahan pada hari ini akan membina hari esok yang lebih indah,\u201d kata Ryan Jung, Ketua Bahagian Pemasaran Coway Malaysia.\nSelain pemuliharaan terumbu karang, Coway juga melindungi alam sekitar menerusi program CSR lain seperti program Guardians Against Garbage. Untuk program tersebut, Coway bekerjasama dengan EcoKnights untuk menjalankan pelbagai aktiviti alam sekitar seperti pembersihan sungai, larian kutip (plogging) sampah sambil berjoging dan projek kitar semula." "UUM Bantu Kilang Peroleh GMP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSintok \u2013 Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya melahirkan dua pengilang yang memperoleh pensijilan Good Manufacturing Practice (GMP) bertaraf antarabangsa untuk mencapai taraf operasi pengilangan yang berdaya saing padaperingkat tertinggi.\nPengilang tersebut ialah Madina Food Industries dan Sabr Ad Dhuha Enterprise yang beroperasi di Perlis. Ketua Perunding Projek Pensijilan GMP dari UUM, Profesor Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail berkata, \u201cPengilang industri kecil dan sederhana (IKS) merupakan tulang belakang ekonomi yang penting untuk negara, terutamanya selepas negara dilanda pandemik COVID-19.\u201c\nJelas beliau lagi, \u201cKemampuan IKS berdaya saing sehingga ke peringkat global akan memastikan kesinambungan bekalan produk berkualiti tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa.\u201c\n\u201cSejajar dengan itu, pihak IKS sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan operasi pengilangan bagi memastikan mereka bukan sahaja mampu bersaing di pasaran tempatan, malah mampu menembusi pasaran antarabangsa yang menjanjikan pulangan lumayan kepada para pengilang yang terlibat,\u201c uhar beliau.\nBeliau menambah, \u201cKolaborasi strategik antara UUM dengan IKS tempatan ini diberi pelbagai latihan praktikal serta bimbingan pada peringkat proses pensijilan. Kita bukan sahaja membantu dari segi pengetahuan tentang GMP dan keselamatan makanan, tetapi juga memberikan khidmat secara hand-holding bagi memastikan pengilang IKS mempunyai keupayaan untuk mengekalkan operasi mereka.\u201c\n\u201cUsaha ini merupakan keperluan untuk memastikan pengilang IKS mampu mengekalkan status pengilang GMP secara konsisten dan berterusan,\u201d ujarnya yang berpengalaman lebih daripada 15 tahun dalam bidang pengilangan, terutamanya pengilangan makanan.\nDengan adanya pensijilan ini katanya, pengilang IKS mempunyai keupayaan untuk bersaing dengan lebih meluas dan mereka juga perlu dilengkapkan dengan pengetahuan berkenaan operasi pengilangan bertaraf tinggi bagi menghasilkan produk yang selamat, dan berdaya saing melangkah lebih jauh.\nBeliau yang juga pakar teknikal menegaskan tentang peri pentingnya para pengilang tempatan berusaha untuk memastikan aras keselamatan makanan tinggi sentiasa dipenuhi dan dicapai bagi meyakinkan pelanggan tentang kualiti produk mereka.\n\u201cPengilang IKS sering menghadapi kekangan kewangan apabila cuba menaiktaraf fasiliti dan operasi kilang, mujurlah mereka mendapat bantuan kewangan daripada pihak MARA Negeri Perlis bagi mencapai pensijilan GMP,\u201d tambah beliau.\nBeliau turut berharap agar pengilang IKS lain akan mencuba untuk menjadi pengilang bertaraf GMP pada masa hadapan.\nGMP merupakan sebuah skim pensijilan pengilang yang mendokong amalan pengilang baik yang menekankan faktor jaminan keselamatan makanan sebagai teras utama dalam pengoperasian sesebuah kilang makanan di Malaysia. Skim pensijilan GMP di Malaysia dipantau di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diiktiraf oleh pelbagai negara luar sebagai jaminan makanan selamat ke atas produk yang dihasilkan oleh kilang yang bertaraf GMP.\nSijil GMP\u00a0 mendoronh kemudahpasaran produk dan kebaikan bersaing yang kuat untuk pengilang IKS terutamanya, dalam memasarkan produk.\nSabr Ad Dhuha Enterprise merupakan pengilang jus minuman Al Khamsah dengan status perniagaan tunggal yang diasaskan oleh anak kelahiran Perlis, Mahadzir Zakaria (gambar).\nMahadzir\u00a0 berkata, \u201cHanya bermodalkan RM200.00, saya mula membuat ramuan jus minuman daripada lima jenis bahan herba yang dihasilkan untuk pengkomersilan pada bulan Julai 2015.\u201c\n\u201cBermula dengan menghasilkan produk dari rumah, syarikat ini terus melangkah jauh menghasilkan lebih banyak produk dan beroperasi di premis yang lebih sesuai dan berjaya mendapatkan sijil Halal dan MeSTI,\u201d katanya.\n\u201cPada tahun 2016, syarikat ini mengorak langkah lebih jauh dan meluaskan pasaran ke luar Perlis hingga berjaya memiliki premis pengilangan yang lebih lengkap dan\u00a0 bersedia untuk mendapatkan sijil GMP untuk meluaskan kebolehpasaran produk.\u201c\nManakala, Madina Food Industries diterajui oleh suami isteri, Muhammad Rizal Osman dan Norafdzaniza Othman,yang merupakan mantan jurutera dan pensyarah yang memulakan perniagaan pembuatan serbuk minuman di Beseri, Perlis sejak tahun 2012.\nMuhammad Rizal berkata, \u201cHasil\u00a0 dedikasi, ketekunan dan azam yang kuat, berjaya mendirikan dua buah kilang pembuatan serbuk minuman.\u201c\n\u201cAlhamdulillah, produk ini mendapat sambutan hangat di pasaran tempatan. Dan, produk terus berkembang luas hingga menyedarkan kami tentang kepentingan GMP bagi meluaskan pasaran sedia ada dan bersaing pada tahap antarabangsa,\u201d katanya.\nHasil kesedaran tersebut, syarikat ini mendapatkan bimbingan daripada perunding UUM bagi membantu menaiktaraf operasi pengilangan mereka dan memperoleh sijil GMP. Setakat ini,Madina\u00a0 menghasilkan lebih daripada 25 jenis produk minuman di fasiliti bertaraf GMP mereka dan\u00a0 berjaya menembusi pasaran luar negara." "Perihal Sendi Nama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSendi nama ialah kata yang digunakan untuk menghubungkan kata nama atau frasa nama dengan kata atau frasa lain dalam ayat. Sila lihat contoh yang berikut;\nDalam ayat 1, sendi nama untuk terletak di hadapan kata nama Ali untuk menghasilkan frasa sendi nama untuk Ali yang menjadi penerang kepada inti hadiah dalam frasa nama hadiah untuk Ali yang menjadi subjek ayat. Dengan itu, ayat 1 mempunyai struktur ayat Frasa Nama (FN) + Frasa Kerja (FK).\nDalam ayat 2 pula, sendi nama untuk terletak di hadapan kata nama Ali untuk menghasilkan frasa sendi nama untuk Ali yang menjadi predikat ayat. Dengan itu, ayat 2 mempunyai pola ayat Frasa Nama (FN) + Frasa Sendi Nama (FS).\nSelain sendi nama untuk, terdapat juga sendi nama yang lain dalam bahasa Melayu.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\nDalam kelompok ayat 3 hingga 17 di atas, terdapat pelbagai sendi nama yang terapit di antara dua frasa nama. Sebagai contoh, dalam ayat 3, sendi nama antara terapit di antara kata nama perundingan dengan frasa nama pihak yang berkepentingan.\u00a0 Walau bagaimanapun, kata sendi nama juga boleh didahului oleh golongan kata yang lain.\nKata sendi nama akan dan dengan boleh diletakkan di antara kata adjektif perasaan (emotif) \u00a0dengan frasa nama sebagai pengantar objek. Sila lihat contoh yang berikut:\nDalam ayat 18, kehadiran sendi nama akan membolehkan kata adjektif emotif sayang dihubungkan dengan kata nama adiknya. Dalam ayat 19, sendi nama dengan menghubungkan kata adjektif emotif rindu dengan kata nama keluarganya. Tanpa kehadiran sendi nama akan dan dengan, imbuhan yang sesuai harus ditambah pada kata adjektif tersebut untuk menjadikannya sebagai kata kerja terbitan. Sila lihat contoh yang berikut:\nKata sendi nama oleh berperanan dalam ayat pasif. Sila lihat contoh yang berikut:\nDalam ayat 23, kata sendi nama oleh merupakan unsur opsyenal dalam pembentukan ayat pasif jati. Walau bagaimanapun, penggunaan oleh dalam ayat 25 adalah wajib untuk menjadikannya ayat pasif, berbanding dengan ayat 24 yang merupakan ayat aktif. Malahan, tanpa kata sendi nama oleh, ayat 27 menjadi tidak logik maksudnya.\nAda kalanya, kata sendi nama menjadi unsur frasa sendi nama yang menjadi frasa keterangan kepada kata kerja, kata adjektif atau frasa sendi nama dalam ayat. Sila lihat contoh yang berikut:\nDalam ayat 28, sendi nama dengan mendahului frasa sendi nama dengan rakannya yang menjadi frasa keterangan atau frasa adverba kepada kata kerja belajar. Dalam ayat 29, sendi nama pada mendahului frasa sendi nama pada suatu masa dahulu yang menjadi frasa keterangan atau frasa adverba kepada kata adjektif cantik. Dalam ayat 30, sendi nama sejak mendahului frasa sendi nama sejak minggu lepas yang menjadi frasa keterangan atau frasa adverba kepada frasa sendi nama di Taiping.\nAda juga kata dalam bahasa Melayu yang menyerupai kata sendi nama tetapi sebenarnya merupakan golongan atau subgolongan kata yang lain. Sila lihat contoh yang berikut:\nDalam ayat 31, kata akan ialah kata bantu aspek. Dalam ayat 32, kata sampai ialah kata kerja. Dalam ayat 33, kata hingga ialah kata hubung pancangan keterangan perhinggaan. Dalam ayat 34, kata antara ialah kata arah. Dalam ayat 35, kata dalam ialah kata arah, tetapi dalam ayat 36, kata dalam ialah kata adjektif. Dalam ayat 37 pula, kata dengan ialah kata hubung pancangan keterangan cara.\nKata sendi nama boleh didahului oleh kata bantu aspek atau ragam. Sila lihat contoh yang berikut:\nDalam ayat 38, kata sendi nama ke didahului oleh oleh kata bantu aspek akan. Dalam ayat 39 pula, kata sendi nama ke didahului oleh kata bantu ragam mahu.\nKata sendi nama oleh boleh bergandingan dengan kata nama sebab dalam ayat tunggal dan kekal sebagai sendi nama. Walau bagaimanapun, kata tersebut boleh menjadi kata hubung pancangan keterangan musabab jika digandingkan dengan kata nama sebab dalam ayat majmuk. Dalam hal ini, penggunaan frasa sendi nama oleh sebab dalam ayat majmuk adalah sama seperti kata hubung kerana.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\nAda kata kerja yang dapat berfungsi seperti kata sendi nama. Sila lihat contoh yang berikut:\nDalam ayat 43, kata kerja mengenai berfungsi seperti kata sendi nama tentang dalam ayat 44. Dalam ayat 45 dan 46, kata menerusi dan melalui berfungsi seperti kata sendi nama dengan dalam ayat 47.\nSatu hal yang menarik ialah kata tanya bagaimana yang ditambah awalan se- dapat juga berfungsi sebagai sendi nama. Sila lihat contoh yang berikut:\n48a.\u00a0 Dia menerima pendidikan sebagaimana yang dikehendaki.\n48b.\u00a0 Dia menerima pendidikan sebagaimana (hal) yang dikehendaki.\n48c.\u00a0 Dia menerima pendidikan seperti yang dikehendaki.\n\u00a0\n49a.\u00a0 Mereka bertindak sebagaimana yang telah dirancang.\n49b.\u00a0 Mereka bertindak sebagaimana (hal) yang telah dirancang.\n49c.\u00a0 Mereka bertindak seperti yang telah dirancang.\nDalam kelompok ayat 48 dan 49 di atas, kata tanya bagaimana yang ditambah awalan se- dapat berfungsi seperti sendi nama seperti.\nAda juga pengguna bahasa Melayu yang tersilap menggunakan sendi nama tertentu. Satu contohnya ialah penggunaan dua kata sendi nama secara berturutan. Hal tersebut dianggap sebagai lewah. Sila lihat contoh yang berikut:\n501a.\u00a0 *Sila baca maklumat seperti di bawah.\n50b.\u00a0 Sila baca maklumat seperti butiran di bawah.\n50c.\u00a0 Sila baca maklumat di bawah.\n\u00a0\n51a.\u00a0 *Dia belajar hingga ke larut malam.\n51b.\u00a0 Dia belajar hingga larut malam.\n\u00a0\n52a.\u00a0 *Sejak dari hari itu, dia sudah sedar.\n52b.\u00a0 Sejak / Dari hari itu, dia sudah sedar.\n\u00a0\n53a.\u00a0 *Demi untuk negara, kita harus berjuang.\n53b.\u00a0 Demi / Untuk negara, kita harus berjuang.\n\u00a0\n54a.\u00a0 *Selain daripada Hasan, tiada yang sanggup menolongnya.\n54b.\u00a0 Selain Hasan, tiada yang sanggup menolongnya.\nAda juga pengguna bahasa Melayu yang menggunakan sendi nama yang kurang sesuai dalam ayat. Sila lihat contoh yang berikut:\n55a.\u00a0 *Dia belajar di waktu pagi.\n55b.\u00a0 Dia belajar pada waktu pagi.\n\u00a0\n56a.\u00a0 *Dia berpegang kepada kebenaran.\n56b.\u00a0 Dia berpegang pada kebenaran.\n\u00a0\n57a.\u00a0 *Dia bergantung kepada bantuan daripada rakannya.\n57b.\u00a0 Dia bergantung pada bantuan daripada rakannya.\nAda pengguna bahasa Melayu yang tersilap dalam hal penggunaan sendi nama kerana sendi nama yang berkenaan tidak mendahului kata nama atau frasa nama. Sila lihat contoh yang berikut:\n58a.\u00a0 *Hal seperti berikut harus dielakkan.\n58b.\u00a0 Hal seperti yang berikut harus dielakkan.\nSendi nama yang sama tidak perlu diulang dalam ayat, kecuali sendi nama ke. Sila lihat contoh yang berikut:\n59a.\u00a0 Ada pelancong yang datang dari dalam dan luar negara.\n59b.\u00a0 Buku saya ada pada John atau Peter.\n59c.\u00a0 *Dia bukan ke Seremban tetapi Kuala Lumpur.\n59d.\u00a0 Dia bukan ke Seremban tetapi ke Kuala Lumpur.\nPenggunaan kata tertentu dengan sendi nama dari dan ke harus bersifat seimbang. Sila lihat contoh yang berikut:\n60a.\u00a0 *Dia menjenguk ibu bapanya dari semasa ke masa.\n60b.\u00a0 *Dia menjenguk ibu bapanya dari masa ke semasa.\n60c.\u00a0 Dia menjenguk ibu bapanya dari semasa ke semasa.\n60d.\u00a0 Dia menjenguk ibu bapanya dari masa ke masa.\nDalam kelompok ayat 60, penggunaan kata semasa atau masa harus seimbang, agar kegramatisan ayatnya tidak terjejas." "MTEM Gesa Kerajaan Berikan Moratorium Tanpa Faedah dan Kurangkan Caruman KWSP Majikan dalam Belanjawan 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Penangguhan Bayaran Cukai Pegangan Bernilai Kecil bagi Pendapatan Royalti, Faedah dan Pendapatan Kelas Khas\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin memaklumkan penangguhan bayaran cukai pegangan bernilai kecil bagi pendapatan royalti, faedah dan pendapatan kelas khas bermula 1 Ogos 2022. Pembayar perlu meremitkan cukai pegangan yang telah dipotong bagi setiap transaksi kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri Negeri (KPHDN) dalam tempoh satu bulan dari tarikh bayaran dibuat berdasarkan kepada seksyen 109 dan 109B Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP). Amaun potongan perlu diremit bersama-sama borang bayaran CP37 atau CP37D yang telah disediakan.\nBagi memudahkan pembayar membuat bayaran cukai pegangan beramaun kecil yang berulang-ulang, HASiL telah membenarkan penangguhan bayaran bagi kategori pendapatan yang berikut:\nA. Pendapatan faedah atau royalti yang dibayar kepada penerima tidak bermastautin di bawah Seksyen 109, ACP 1967.\nB. Pendapatan tertentu kelas khas yang dibayar kepada penerima tidak bermastautin di bawah Seksyen 109B, ACP 1967.\nSituasi-situasi yang layak dibenarkan penangguhan bayaran cukai pegangan dilakukan sekali dalam setiap tempoh enam bulan adalah seperti berikut:\nA. Amaun bayaran cukai pegangan adalah bernilai kecil, iaitu tidak melebihi RM500 00 bagi sesuatu transaksi bayaran.\nB. Pembayar mengetahui bahawa bayaran cukai pegangan berkenaan akan dilakukan sebanyak lebih daripada sekali dalam tempoh lanjutan yang dibenarkan, iaitu dalam tempoh enam bulan berkenaan.\nBayaran cukai pegangan dan pengemukaan borang bayaran boleh dilakukan dalam satu borang mengikut tempoh berikut:\nA. Pada atau sebelum 30 Jun bagi transaksi bayaran yang dilakukan kepada penerima tidak bermastautin antara 1 Disember tahun sebelum hingga 31 Mei tahun semasa.\nB. Pada atau sebelum 31 Disember bagi transaksi bayaran yang dilakukan kepada penerima tidak bermastautin antara 1 Jun hingga 30 November tahun semasa.\nRuangan tarikh bayaran dikreditkan dalam Borang Bayaran CP37 atau CP37D perlu diisi dengan tarikh 30 Jun atau 31 Disember mengikut tempoh transaksi yang terlibat. Pihak pembayar dinasihatkan untuk menyimpan senarai penerima bayaran cukai pegangan amaun kecil yang berkaitan untuk disemak oleh HASiL sekiranya perlu.\nSebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada HASiL melalui:\n(a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);\n(b) HASiL Live Chat; atau\n(c) Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas\nhttps://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/" "Lapan Negeri Menjadi Perintis Bandar Pintar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "SKMM Rancang Wujudkan 177 PEDi Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Perniagaan Ekonomi Digital Mempunyai Potensi Besar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan\u00a0merasmikan Pembukaan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) bertajuk \u201dPendaftaran dan Pembangunan Perniagaan Francais\u201d yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama YTF.\nBaginda bertitah bahawa perniagaan berasaskan ekonomi digital kini tidak asing lagi dan perubahan landskap perniagaan francais ke arah digitalisasi menjadi keutamaan. Kelebihan itu membolehkan interaksi perniagaan diperluaskan dengan pengguna dari seluruh dunia di samping melaksanakan digitalisasi dalam keseluruhan rantai bekalan. Tambahan pula, perniagaan ekonomi digital\u00a0bukan sahaja mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tetapi juga mewujudkan perniagaan-perniagaan sokongan seperti perkhidmatan penghantaran.\nBaginda percaya kerajaan juga memandang serius pembangunan pesat industri francais dan mengurangkan perbezaan jurang \u00a0dalam industri ini. Fokus utama ini akan menjana ekonomi negara dan seterusnya wujudnya peluang pekerjaan untuk rakyat. Idea dan input dalam membangunkan mikro francais dapat membantu merangka peningkatan tahap sosioekonomi golongan B40 ke M40 yang diharapkan akan menarik minat mereka untuk menceburi bidang perniagaan.\nOleh itu, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM), Tuanku\u00a0Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Penasihat DiRaja YTF yakin penglibatan golongan masyarakat setempat dalam bidang perniagaan francais ini perlu dipertingkatkan dan disokong oleh pendekatan yang bersifat \u201cmemudahcara\u201d dan \u201cmeringankan\u201d. Mereka yang telah berjaya juga diseru untuk membantu rakan-rakan yang baharu atau sedang berkecimpung supaya lebih berdaya maju.\nWebinar tersebut dirasmikan penutupan oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pengerusi YTF." "AirAsia Dinobatkan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia untuk Tahun ke-13 Berturut-turut\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "KUIPS Terima Pelantikan Nazir Khas Urus Dana Wakaf Jamalullail\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar\u00a0 \u2013 Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menyaksikan pelantikan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) sebagai Nazir Khas Dana Wakaf Jamalullail ketika Majlis Menandatangani Surat Hasrat Pelantikan Nazir Khas di antara Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan KUIPs sempena Seminar Kesedaran Berwakaf Peringkat Negeri Perlis dan Roadshow Bulan Wakaf Kebangsaan (BWK) tahun 2022.\nMajlis yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) ini turut menampilkan lima orang pensyarah KUIPs dari lima buah negara berbeza iaitu Malaysia, Iraq, Mesir, Yaman dan Nigeria manakala Indonesia diwakili oleh Rektor Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM), Profesor Madya Dr. Waluyo Adi Siswanto dalam sesi Diskusi Meja Bulat yang membincangkan berkaitan amalan wakaf di negara masing-masing bertepatan dengan tujuan seminar yang diadakan iaitu untuk memupuk kesedaran berwakaf dalam kalangan masyarakat sebagai salah satu instrumen memperkasakan ekonomi ummah.\nMajlis yang berlangsung selama tiga jam di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis ini juga menyaksikan DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan merasmikan Majlis Pelancaran Projek Buku Wakaf yang melibatkan KUIPs, UiTM Perlis dan INCEIF University." "Pembentangan Belanjawan 2023 Hari Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0 Mesyuarat Kabinet memutuskan Belanjawan 2023 akan dibentangkan pada 7 Oktober 2022 (Jumaat) di Dewan Rakyat." "Belanjawan 2023 dan Pemulihan Pasca-COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur- Dewan Ekonomi telah mengajurkan program Sembang Tamu yang bertajuk Ekonomi Malaysia: Belanjawan 2023 dan Pemulihan Pasca-COVID-19. Program itu berlangsung pada 11 Oktober 2022 pada pukul 2.30 petang. Program itu disiarkan melalui FB Langsung Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan saluran youtube DBP.\nProgram itu menampilkan dua orang ahli panel dan seorang moderator yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman luas dalam bidang ekonomi iaitu Datuk Seri Dr. Md Zabid Haji Abdul Rashid, Profesor Emeritus Dr. Barjoyai Bardai dan Dato Dr. Madeline Berma. Mereka mengupas dengan lebih lanjut tentang isi kandungan Belanjawan 2023 dan potensi keadaan ekonomi Malaysia pada tahun hadapan.\nMereka menyatakan bahawa Belanjawan 2023 merupakan persiapan negara untuk menghadapi ketidaktentuan ekonomi global pada tahun hadapan. Belanjawan 2023 menumpukan tiga aspek utama iaitu pemulihan, pembaharuan dan pengukuhan daya tahan. Mereka juga membincangkan tentang cabaran yang dihadapi untuk melaksanakan Belanjawan 2023 kerana Parlimen sudah pun dibubarkan pada 10 Oktober 2022. Oleh itu, Belanjawan 2023 perlu dibentangkan semula di Parlimen setelah kerajaan baharu dibentuk." "HASiL Sedia Berbincang bagi Mengelakkan Cukai Tertunggak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCukai Pendapatan Instrumen Kelangsungan Negara\nBegitu pantas masa berlalu. Kini kita sudah pun masuk ke suku yang ke-4 tahun 2022. Tanpa disedari, sudah hampir tiga tahun seluruh dunia termasuklah negara kita berperang dengan virus COVID-19 yang menyaksikan kecelaruan dalam sistem sosio-ekonomi. Namun kini, Malaysia kembali bangkit menjana semula kemakmuran negara setelah turut terkesan dengan serangan COVID-19. Rakyat Malaysia juga pada masa ini rancak mengatur kembali kedudukan kewangan masing-masing setelah beberapa pakej rangsangan ekonomi yang diberikan oleh pihak kerajaan seperti moratorium dan pengeluaran khas dana dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berakhir.\nDi sebalik mengatur kedudukan kewangan tersebut, mungkin ada di antara kita yang terlupa serta mengabaikan tanggungjawab membayar cukai yang sepatutnya dilaksanakan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL). Perlu diakui hakikatnya bahawa dalam Pembentangan Bajet 2022 kerajaan juga telah memperuntukkan sejumlah RM8.2 bilion untuk manfaat 9.6 juta orang di bawah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM). Amaun bayaran tunai BKM ini termasuk dalam pelbagai pakej subsidi Kerajaan yang berjumlah RM77.3 bilion bagi tahun 2022 sekali gus direkodkan sebagai peruntukan subsidi yang terbesar dalam sejarah negara.\nBegitu juga dengan bermacam-macam lagi inisiatif yang dilancarkan oleh kerajaan bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara seperti Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan Inisiatif Semarak Niaga Keluarga Malaysia yang diyakini mampu memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat untuk kelangsungan hidup dalam era pasca pandemik COVID-19. Segala peruntukan ini bukan diperolehi dengan mudah umpama yang bulat datang bergolek dan yang pipih datang melayang, sebaliknya sebahagiannya adalah dari hasil kutipan cukai negara. Hal ini bermakna hasil cukai negara terbukti mempunyai peranan yang amat penting untuk memastikan segala bantuan dapat disalurkan dengan kadar segera kepada segenap lapisan masyarakat yang terjejas demi kesejahteraan mereka.\n\u00a0Gagal Lapor/Bayar Cukai Faktor Tunggakan Cukai Meningkat\nAkta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) jelas memperuntukkan kewajipan pembayar cukai yang terdiri daripada individu, syarikat dan juga mana-mana pertubuhan untuk mengemukakan Borang Nyata Cukai kepada HASiL pada setiap tahun. Kegagalan pembayar cukai mematuhi peruntukan ACP 1967 ini boleh menyebabkan penalti dikenakan yang turut bermaksud amaun cukai yang kena dibayar kepada Kerajaan menjadi lebih tinggi kerana adanya penalti. Sudah tentu kita sebagai pembayar cukai yang berhemah tidak mahu membayar cukai lebih dari sepatutnya yang dikenakan bukan?\nIsu tunggakan cukai pula wujud apabila kita gagal membayar kepada HASiL amaun cukai yang dikenakan terhadap kita dalam tempoh yang sepatutnya. Seperti yang ditetapkan oleh undang-undang, bagi individu yang tidak mempunyai punca pendapatan perniagaan atau yang makan gaji sahaja, mereka perlu melunaskan cukai tahunan mereka selewat-lewatnya pada 30 April setiap tahun. Manakala bagi individu yang berniaga, mereka dikehendaki menjelaskan semua amaun cukai tahunan mereka selewat-lewatnya pada 30 Jun setiap tahun. Sementara itu, bagi syarikat, mereka wajib membayar semua amaun cukai mereka dalam tempoh tujuh (7) bulan selepas tarikh tutup tempoh perakaunan syarikat.\nSekiranya pembayar cukai mengabaikan bayaran cukai ini, maka mereka berkemungkinan akan berhadapan dengan tindakan-tindakan selanjutnya oleh HASiL bagi tujuan pemungutan. Berdasarkan Rangka Kerja Pungutan Cukai 2021 yang dikemaskini pada 3 Februari 2021, HASiL menyatakan bahawa pembayar cukai boleh dikenakan tindakan-tindakan seperti yang berikut sekiranya mereka mempunyai isu tunggakan cukai yang menjadi hutang kepada kerajaan sekiranya tidak diselesaikan:\n\u00a0\nSehingga 31 Julai 2022 sahaja seramai 186,346 individu termasuk pengarah syarikat dengan jumlah amaun tunggakan cukai berjumlah RM 12.9 billion telah dikenakan tindakan sekatan perjalanan berikutan kegagalan mereka menjelaskan tunggakan cukai kepada kerajaan. Melihat kepada jumlah tunggakan cukai ini jika ia tidak ditangani sebaik-baiknya oleh HASiL secara tidak langsung ia akan menjejaskan kutipan cukai langsung negara dan berkemungkinan merencatkan program-program pembangunan yang telah direncanakan oleh kerajaan pada masa hadapan. Oleh yang demikian tindakan penguatkuasaan yang telah dilaksanakan oleh HASiL kepada golongan-golongan ini merupakan sebagai salah sebuah bentuk keadilan kepada pembayar cukai yang patuh kepada undang-undang percukaian demi kesejahteraan serta kemakmuran Keluarga Malaysia seluruhnya.\nHASiL Rakan Perunding Percukaian Anda\nBak kata pepatah \u201cdi mana ada kemahuan, di situ ada jalan\u201d yakni setiap masalah yang timbul pasti ada jalan penyelesaiannya, apa yang penting adalah cara kita menghadapi masalah tersebut dan menanganinya dengan rasional. Tegasnya, jangan sesekali lari dari masalah kerana ia pasti akan terus menghantui hidup kita. Pepatah ini juga terpakai bagi pembayar cukai yang mempunyai isu tunggakan cukai kepada negara. HASiL merupakan sebuah agensi pentadbir cukai langsung negara yang sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan serta rundingan sekiranya pembayar cukai mempunyai masalah bagi menyelesaikan tunggakan cukai mereka. Peruntukan undang-undang juga memberi ruang kepada pembayar cukai untuk membayar cukai atau baki cukai secara ansuran. Sekiranya cukai kena dibayar layak dikenakan kenaikan cukai di bawah seksyen 103 ACP, ansuran yang dibenarkan adalah termasuk kenaikan cukai tersebut.\nAntara bukti HASiL amat prihatin kepada situasi pembayar cukai yang mengalami masalah kewangan adalah menerusi Kenyataan Media HASiL bertarikh 3 Jun 2021, apabila HASiL telah menawarkan kelonggaran pembayaran cukai dan penalti khusus untuk pembayar cukai yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Kelonggaran itu bertujuan untuk meringankan beban pembayar cukai dalam menyelesaikan cukai tertunggak dan penalti cukai mereka. Ini selari dengan objektif utama piagam HASiL iaitu \u201cMemberikan Perkhidmatan Terbaik Kepada Pelanggan\u201d selain memaparkan peranan HASiL sebenarnya adalah sebagai pemudah cara pematuhan atau facilitator of compliance yang memudahkan urusan percukaian rakyat Malaysia.\nBagi pembayar cukai yang ingin memohon bayaran tunggakan cukai atau baki cukai secara ansuran mereka terlebih dahulu perlu mendapat kelulusan daripada HASiL. Bayaran ansuran cukai yang dimaksudkan ini bukanlah bermaksud pembayar cukai sewenang-wenangnya membuat bayaran sedikit demi sedikit berdasarkan kemahuan sendiri, namun kelulusan bayaran ansuran ini perlu memenuhi beberapa syarat yang dipersetujui. Tidak semua kes tunggakan cukai mempunyai merit kes yang sama, justeru permohonan bayaran ansuran ini mempunyai layanan yang berbeza bergantung kepada kemampuan serta kedudukan kewangan pembayar cukai.\nPembayar cukai boleh membuat permohonan ansuran ini secara terus dengan Cawangan HASiL yang mengendalikan fail cukai mereka. Dokumen-dokumen seperti penyata aliran tunai bulanan, penyata bank beberapa bulan terkini, senarai komitmen bulanan dan bilangan ansuran yang ingin dicadangkan merupakan antara dokumen yang diperlukan oleh pihak HASiL dalam memproses permohonan bayaran ansuran pembayar cukai.\nSelain itu, rayuan terhadap kenaikan cukai juga boleh dibuat namun rayuan tersebut haruslah mempunyai asas yang munasabah bagi pihak HASiL membuat keputusan yang terbaik bagi kedua-dua pihak. HASiL sememangnya mengalu-alukan sebarang rundingan daripada pihak pembayar cukai demi memudahkan pematuhan serta pembayaran cukai kepada kerajaan. HASiL sebenarnya amat menghargai para pembayar cukai yang mempunyai masalah untuk duduk bersama-sama berbincang bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik daripada sikap mengabaikan serta melarikan diri dari melaksanakan tanggungjawab membayar cukai.\nKesimpulan\nTunggakan cukai merupakan isu yang seringkali membelenggu pembayar cukai sekiranya mereka culas serta mengabaikan tanggungjawab mereka kepada kerajaan. Sikap bertangguh serta tidak ambil peduli oleh sesetengah pembayar cukai akan mengakibatkan mereka berhadapan dengan tindakan susulan pemungutan oleh HASiL. Bagi mengurangkan kes tunggakan cukai ini, pembayar cukai disarankan untuk berhubung dengan HASiL bagi mendapatkan khidmat perundingan percukaian secara percuma di samping HASiL juga terbuka dalam setiap apa jua rundingan cukai demi kepentingan kedua-dua pihak. Jadilah seorang pembayar cukai yang patuh yang menyumbang kepada pendapatan negara kerana setiap sen cukai yang disumbangkan adalah bertujuan bagi membantu pihak kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan serta kebajikan agar rakyat dapat merasai nikmat kesejahteraan serta kemakmuran hidup di Malaysia. Terima kasih pembayar cukai! Andalah Wira Negara!" "Pelestarian Bahasa Kebangsaan Melalui Pusat Rujukan Persuratan Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPenubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1956 dengan nama Balai Pustaka, dan dinaiktarafkan sebagai badan berkanun di bawah Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 telah memberikan kuasa autonomi kepada organisasi ini untuk menggubal dasar, menyusun program dan kegiatan penerbitan sesuai dengan matlamat penubuhannya.\nMatlamat penubuhan DBP ini seperti yang dijelaskan oleh Dr. Hazami Jahari, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP, dalam Wacana Bahasa Institut Aminuddin Baki (AIB) Cawangan Sarawak, yang bertemakan \u201cJendela DBP: PRPM Enjin Carian Bahasa Bertaraf Dunia\u201d adalah untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi, memperkembangkan bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan, dan mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa lain.\nSelain itu, matlamat penubuhan DBP juga adalah untuk membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan, menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul, dan menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya dapat digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.\nBagi memenuhi matlamat murni tersebut, pihak pengurusan DBP telah pun menyediakan Pelan Strategik DBP 2021 \u2013 2025 dengan tiga teras strategiknya, iaitu Bahasa Melayu Bahasa Ekonomi, Bahasa Melayu Bahasa Negara dan Bahasa Melayu Bahasa Ilmu.\nMenurut beliau lagi, dengan adanya pengukuhan dasar melalui Perkara 152: Bahasa Kebangsaan, Surat Pekeliling Am, Pekeliling Perkhidmatan dan sebagainya, aktiviti pengembangan bahasa dan sastera dapat terus dilaksanakan dalam kegiatan pengembangan seperti Anugerah Sastera Negara, Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Canai Bahasa dan Sastera, Bulan Bahasa Kebangsaan, Dekad Bahasa Kebangsaan dan sebagainya.\nSelain itu, portal rujukan juga telah disediakan oleh DBP, iaitu Pusat Rujukan persuratan Melayu (PRPM), dalam usaha membantu pengguna bahasa membuat rujukan mengenai sesuatu kata atau istilah dengan lebih pantas. Menurut Dr. Rusmadi Baharudin, Ketua Bahagian Perkamusan, DBP, portal ini mula dapat diakses oleh pelayar pada tahun 2009 dan menduduki tempat kedua popular daripada 10 portal perkhidmatan kerajaan yang direkodkan dalam kajian MAMPU pada tahun 2013. Portal yang bersifat enjin carian ini memaparkan maklumat yang telah distrukturkan mengikut domain tertentu seperti kamus, istilah, ensiklopedia, majalah, buku, majalah dan sebagainya.\nMenurut beliau, dua buah kamus ekabahasa yang dimasukkan ke dalam portal PRPM pula ialah Kamus Dewan Edisi Keempat dan Kamus Pelajar sebagai sumber rujukan utama. Di samping itu, kamus dwibahasa, kamus istilah, ensiklopedia dan sebagainya menjadi kandungan portal ini untuk dirujuk oleh pengguna. Jumlah entri kamus yang tersedia di dalam portal ini adalah sebanyak 513 795 kata, jumlah entri istilah bahasa Melayu 524 467 kata dan jumlah entri istilah MABBIM sebanyak 162 490 kata dimasukkan untuk dirujuk pengguna.\nPengguna juga boleh mendapat maklumat mengenai sesuatu kata daripada Pangkalan Data Korpus, Khidmat Nasihat DBP dan Gerbang Kata DBP apabila melayari portal PRPM ini. Sehingga 17 Februari 2022, sebanyak 125 846 476 jumlah kata terakam dalam Pangkalan Data Korpus DBP. Pengguna bahasa, peminat atau pengkaji bahasa juga boleh menyumbangkan kata yang belum terakam dalam pangkalan ini melalui medan Saran Kata di Gerbang Kata DBP.\nKata-kata tersebut akan dicalonkan sebagai kata masukan kamus terbitan DBP sekiranya mengikut Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu dan analisis makna dan kekerapan penggunaan kata yang ditetapkan. Dengan kata lain, masyarakat juga berpeluang bersama-sama membantu DBP melestarikan penggunaan bahasa kebangsaan sederap langkah mengikut peralihan zaman dengan hanya menggunakan hujung jari dalam melayari portal yang disediakan DBP ini.\nPRPM kini menjadi sumur takungan kata khususnya dalam bahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan negara ini yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna di mana-mana sahaja mereka berada. Sehubungan dengan itu, rakyat negara ini perlu segera memupuk semula sikap cinta akan bahasa Melayu walaupun ada dalam kalangan mereka kini telah menguasai lebih daripada tiga bahasa dunia. \u201cCintailah Bahasa Kita. Bahasa Jiwa Bangsa\u201d." "Aktiviti dan Laluan Perdagangan Barter Labuan akan Beroperasi Semula\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "INSKEN Berjaya Tingkatkan Hasil Jualan 56 Usahawan di Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKetua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin menyatakan bahawa kejayaan terbaharu itu melibatkan seramai 56 usahawan daripada dua industri iaitu kafe dan restoran serta jualan pasar raya (makanan & minuman). Tambah beliau, program tersebut juga berjaya mencapai objektif ditetapkan apabila lebih separuh daripada jumlah peserta program dapat meningkatkan hasil jualan perniagaan di antara 20 peratus hingga melebihi 100 peratus. \u201cPada masa sama, sebanyak 15 pekerjaan baharu dicipta dalam tempoh empat bulan program tersebut dijalankan yang merupakan inisiatif secara komprehensif hasil kolaborasi strategik bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). \u201cProgram IBBC ini dilengkapi dengan aspek latihan dan bimbingan secara holistik. Peserta dipantau bagi memastikan skala serta kemahiran perniagaan dapat ditingkatkan untuk berdepan pelbagai cabaran mendatang.\u201d" "Import Minyak Sawit India dari Malaysia Melonjak 21%\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Pengeluaran Getah Asli Malaysia Turun 3.8% pada Ogos\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBagi tahun ke tahun, pengeluaran getah asli merosot sebanyak 15.2% berbanding 42 942 tan pada Ogos tahun lepas. \u201cPengeluaran getah asli pada Ogos 2022 untuk Malaysia disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (87.5%) berbanding sektor estet (12.5%).\u201c" "CAMPUS BREW Bakal Lahirkan Usahawan Kopi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSintok \u2013 Inkubator Campus Brew melatih pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) menjalankan perniagaan dalam bidang makanan dan minuman (F&B) berasaskan kopi sekali gus melahirkan usahawan kopi yang berilmu dan kompetitif. Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah menyatakan bahawa projek inkubator anjuran bersama Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), dan Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD) ini memberi peluang kepada mahasiswa merasai dunia sebenar perniagaan dengan menjual kopi.\nTambah beliau, inkubator ini mendapat bimbingan dari CEDI dan syarikat kopi He & She selari dengan aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menyasarkan penglibatan pelajar dalam aktiviti perniagaan semasa dalam pengajian sebanyak 19% dan 6% graduan menceburi bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan pada tahun 2022.\u00a0 \u201cMasa depan anak-anak bergantung dengan apa yang kita corakkan jadi usahawan kopi bukan sekadar jual kopi malah dilengkapkan dengan pelbagai kemahiran dan mengasah kebolehan dalam membentuk minda bercirikan keusahawanan dalam kalangan pelajar. \u201cBeribu jenama kopi yang ada di pasaran tetapi kita mahu jadi jenama yang disebut-sebut orang, akan jadi jenama besar untuk menghasilkan usahawan kopi yang berjaya dalam kalangan pelajar justeru berilah perkhidmatan terbaik kepada semua pelanggan, layanan sepenuh hati dan berkualiti supaya dapat menarik pelanggan.\u201d\nBeliau turut menyatakan bahawa Anjung Tamu telah dipilih untuk dijadikan pusat keusahawanan Inkubator Campus Brew sebagai usaha membangunkan pelajar menjadi usahawan kopi demi memartabatkan agenda pembangunan keusahawanan. Malah, beliau turut \u00a0berharap perjuangan jihad ekonomi mesti diteruskan dan peranan ini haruslah dipikul oleh graduan bagi memastikan ekonomi masyarakat kukuh dan berdaya saing. Dalam masa yang sama mahasiswa sebagai generasi berani, dinamik dan kalis cabaran perlu berani bangkit dan berdiri sendiri serta membantu membangunkan ekonomi.\nSementara itu, Pengarah Eksekutif CEDI UUM, Prof. Madya Dr. Jauriyah Shamsuddin menyatakan pengangguran dalam kalangan graduan meningkat berikutan keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan terutamanya ketika pandemik COVID-19. Pengangguran mencecah 768 700 orang atau 4.8% berdasarkan laporan perangkaan terkini tahun 2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, dan lebih 4000 syarikat gulung tikar di Malaysia. \u201cKeadaan ini amat meresahkan kerana dunia hari ini menghadapi krisis ekonomi kritikal. Menyedari hakikat ini, CEDI merancakkan aktiviti keusahawanan sebagai solusi agar graduan dapat mencipta kerjaya setelah menamatkan pengajian kelak.\u201c\nJelasnya, inkubator perniagaan merupakan organisasi yang menyediakan persekitaran positif untuk menyokong pembangunan usahaniaga dan syarikat baharu. Untuk tujuan ini, inkubator perniagaan menyediakan ruang untuk operasi pejabat, khidmat nasihat perniagaan dan hubungan rangkaian antara firma penyewa, pembekal dan pelanggan yang berpotensi.\u00a0\u201cDengan adanya Program Inkubator \u2018Campus Brew\u2019 ini yang\u00a0 berkonsepkan inkubator perniagaan kopi di UUM menyediakan prasarana inkubator bagi pelajar UUM sepenuh masa sebagai inkubatee dalam menguruskan perniagaan dan mendapat bimbingan daripada syarikat pemain kopi industri yang bertindak sebagai mentor industri dalam membimbing perniagaan pelajar.\u201d\nOng Soon Lee, Pelajar Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan menyatakan bahawa inkubator ini menyediakan ilmu dan pengalaman berharga kerana 20 peserta akan menjalani latihan daripada krew bertauliah, He & She selama dua bulan. \u201cPenglibatan peserta dalam program ini adalah secara sukarela dan saya sangat teruja dapat menyertainya dan berjanji akan memberikan komitmen tinggi pada masa sama tidak mengabaikan pelajaran.\u201d\nSetiap peserta akan menerima sijil akreditasi selepas menamatkan tempoh inkubator selama setahun." "Dana Permodalan Semula PKS dilancarkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Kenaikan OPR Tidak Halang Orang Ramai Membeli Rumah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Potensi Besar Industri Francais Tempatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil percaya bahawa masyarakat tempatan mampu terus memainkan peranan yang amat signifikan dalam membantu memastikan kestabilan sosioekonomi negara menerusi spektrum industri francais.\nBaginda bertitah selepas berkenan menandatangani sijil-sijil ucapan penghargaan kepada panelis serta urusetia yang terlibat dalam Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) \u2018Women In Search of Excellence (WISE)\u2019 Siri Ke-13 bertajuk \u201cPendaftaran dan Pembangunan Perniagaan Francais\u201d anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).\nBaginda bertitah bahawa ekosistem francais\u00a0 amat dinamik, malah sering terdedah kepada perubahan lanskap ekonomi dan sosial global seperti perubahan mata wang asing, persaingan harga, perundangan dan lain-lain. Baginda juga bertitah negara kita telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menambahbaik bidang francais tempatan bagi menjamin kelangsungan dan kestabilan perniagaan terutamanya pada waktu pandemik COVID-19. Usaha ini juga melibatkan sokongan oleh semua pihak termasuklah sektor awam dan swasta, serta mereka yang berkepentingan melalui strategI yang telah ditetapkan.\nSesuai dengan slogan \u201cPerniagaan Francais Menjana Ekonomi\u201d, \u201cMemartabatkan Pembangunan Negara\u201d, baginda menitahkan panel undangan program berkenaan yang terdiri daripada pemain industri telah berkongsi ilmu dan pandangan mengupas tentang isu terkini berkaitan perniagaan francais negara dan membicarakan usaha yang diambil dalam mendepani cabaran semasa. Mereka juga turut berkongsikan pengalaman dan peluang yang dapat dimanfaatkan oleh semua golongan masyarakat tempatan yang juga merupakan manifestasi yang realistik bahawa golongan masyarakat umum juga mampu untuk berjaya dalam sektor ini.\nPerkembangan industri francais tempatan juga diselaraskan dengan pengukuhan pendaftaran serta peningkatan pematuhan terhadap industri ini di bawah Akta Francais 1998. Keadaan itu membolehkan sistem pendaftaran lebih sistematik dan memastikan industri francais beroperasi dalam persekitaran yang kondusif, cekap dan berkesan.\nDuli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Puan Muda selaku Pengerusi YTF dan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sebagai Penasihat DiRaja amat bersukacita atas kerjasama serta komitmen yang tidak terhingga oleh semua yang terlibat khususnya kepada Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Azman Mohd Yusof atas penglibatan dan komitmen dalam menjayakan penganjuran program webinar dengan kerjasama YTF tersebut.\nSeminar Yayasan Tuanku Fauziah yang akan datang bertajuk: \u201cWanita Dalam Pembangunan Negara\u201d bakal dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada hari khamis yang akan datang ini iaitu 20 Oktober 2022 di Sanggar Tun Sri Lanang, Tingkat 31, Menara DBP Kuala Lumpur." "unifi eCommerce Hub Platform Digital Usahawan PMKS\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Dagangan Malaysia Melonjak 31.4% Pada September 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Apakah Adverba?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAdverba ialah satu unsur dalam subgolongan kata prafrasa dan pascafrasa, iaitu sebahagian daripada kata tugas dalam bahasa Melayu. Istilah ini berasal daripada bahasa Inggeris, iaitu adverb. Dalam bahasa Inggeris, adverb menghuraikan kata kerja, kata adjektif dan kata adverb yang lain. Dalam bahasa Melayu pula, kata adverba sebagai kata keterangan menghuraikan Frasa Kerja (FK), Frasa Adjektif (FA) dan Frasa Sendi Nama (FS).\nKonsep adverba dalam bahasa Melayu belum dikupas secara tuntas dan sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna bahasa Melayu. Hal ini berlaku kerana adverba bukan sahaja meliputi adverba jati, malah melibatkan golongan kata lain yang berfungsi sebagai adverba.\nAdverba jati merupakan kata yang hanya menghuraikan Frasa Kerja, Frasa Adjektif dan Frasa Sendi Nama. Dalam bahasa Melayu, adverba sedemikian berkaitan dengan kekerapan atau cara melakukan sesuatu hal. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a.\u00a0 Dia sering ke bandar.\n1b.\u00a0 Kadang-kadang dia ke bandar\n1c.\u00a0 Kadangkala dia ke bandar.\n1d.\u00a0 Jarang-jarang dia berani.\n1e.\u00a0 Dia sentiasa sihat.\n1f.\u00a0 \u00a0Dia selalu prihatin.\n1g.\u00a0\u00a0 Dia nyaris-nyaris jatuh.\n1h.\u00a0\u00a0 Mereka saling membantu.\n1i.\u00a0 \u00a0Kerap dia bermuhasabah.\nDalam kelompok ayat 1 di atas, terdapat contoh adverba jati seperti sering, kadang-kadang, kadangkala, jarang-jarang, sentiasa, selalu, nyaris-nyaris, saling dan kerap. Kata-kata adverba jati itu hanya berfungsi untuk menghuraikan contoh kata kerja (jatuh, membantu, bermuhasabah), contoh kata adjektif (sihat, prihatin, berani) dan contoh frasa sendi nama (ke bandar). Ertinya, adverba jati ialah adverba dari segi golongan kata dan fungsinya.\nSelain kata adverba jati, terdapat juga golongan kata yang lain yang dapat berfungsi sebagai adverba. Contohnya ialah kata nama, kata kerja dan kata adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:\n2a.\u00a0 Esok ialah hari cuti.\n2b.\u00a0 Pertandingan esok pasti hebat.\n2c.\u00a0 Dia ke Kangar esok.\n\u00a0\n3a.\u00a0 Angin kencang menumbangkan pokok.\n3b.\u00a0 Angin bertiup kencang.\n\u00a0\n4a.\u00a0 Dia bersendirian di rumah.\n4b.\u00a0 Dia duduk bersendirian.\nDalam ayat 2a, kata \u201cesok\u201d ialah frasa atau kata nama yang menjadi subjek ayat. Dalam ayat 2b, kata \u201cesok\u201d ialah penerang (KN) kepada inti frasa nama \u201cpertandingan\u201d. Dalam ayat 2c, \u00a0kata nama \u201cesok\u201d berfungsi sebagai adverba untuk menghuraikan frasa sendi nama \u201cke Kangar\u201d.\nDalam ayat 3a, kata \u201ckencang\u201d ialah kata adjektif (penerang) yang menghuraikan inti frasa nama \u201cangin\u201d. Dalam ayat 3b, kata adjektif \u201ckencang\u201d \u00a0berfungsi sebagai adverba yang menghuraikan kata kerja \u201cbertiup\u201d.\nDalam ayat 4a, kata \u201cbersendirian\u201d ialah kata kerja yang berfungsi sebagai predikat utama ayat. Dalam ayat 4b pula, kata kerja \u201cbersendirian\u201d berfungsi sebagai adverba untuk menghuraikan kata kerja \u201cduduk\u201d.\nKata nama yang berkaitan dengan masa sering berfungsi sebagai adverba. Contohnya adalah seperti yang berikut:\n\u00a0\nesok lusa tulat semalam\ntadi kelmarin kini dahulu\nsekarang kelak nanti kemudian Kata yang berkaitan dengan cara melakukan sesuatu hal dan sering berfungsi sebagai adverba adalah seperti yang berikut:\nserentak sekali gus begitu begini\ndemikian langsung\n\u00a0\n5a.\u00a0 Hal demikian adalah salah. (penerang)\n5b.\u00a0 Jangan bertindak demikian. (adverba)\n\u00a0\n6a.\u00a0 Tindakan serentak itu berjaya. (adjektif)\n6b.\u00a0 Mereka sampai serentak. (adverba)\n\u00a0\n7a.\u00a0 Kesan langsungnya jelas. (adjektif)\n7b.\u00a0 Dia terlibat secara langsung. (adverba)\nSesetengah adverba boleh berada di hadapan atau di belakang kata yang dihuraikannya. Sila lihat contoh yang berikut:\n5a.\u00a0 Dia letih selalu.\n5b.\u00a0 Dia selalu letih.\n\u00a0\n6a.\u00a0 Dia sentiasa berani.\n6b.\u00a0 Dia berani sentiasa.\n\u00a0\n7a.\u00a0 Dia lambat datang.\n7b.\u00a0 Dia datang lambat.\nSelain kata, ada juga frasa dan klausa yang dapat berfungsi seperti adverba. Hal sedemikian berkaitan (walaupun ada perbezaan) dengan adverbial dalam bahasa Inggeris. Sila lihat contoh yang berikut:\n8a.\u00a0 Dia membaca buku tadi.\n8b.\u00a0 Dia membaca buku pada masa lapang.\n8c.\u00a0 Dia membaca buku apabila (dia) ada masa lapang.\nDalam ayat 8a, kata nama \u201ctadi\u201d berfungsi sebagai adverba yang menghuraikan frasa kerja \u201cmembaca buku\u201d. Dalam ayat 8b, frasa sendi nama \u201cpada masa lapang\u201d (kata sendi nama \u201cpada\u201d diikuti frasa nama \u201cmasa lapang\u201d) menghuraikan frasa kerja \u201cmembaca buku\u201d. Dalam ayat 8c, klausa keterangan waktu \u201capabila (dia) ada masa lapang\u201d (kata hubung keterangan waktu \u201capabila\u201d diikuti klausa \u201c(dia) ada masa lapang\u201d) juga menghuraikan frasa kerja \u201cmembaca buku\u201d." "Bursa Malaysia Teruskan Kenaikan bagi Hari Keempat Berturut-turut\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Ekonomi Digital Meningkatkan Taraf Hidup dan Kemakmuran Rakyat \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Ekonomi digital memainkan peranan penting untuk Malaysia memperoleh semula daya saingnya, dengan menyedari bahawa penggunaan teknologi dan inovasi akan menjadi teras untuk memacu pertumbuhan dalam semua sektor.\nPenggunaan teknologi maju, terutamanya dalam Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), akan digalakkan dalam penjanaan ekonomi. Tenaga kerja dan kemahiran yang diperlukan untuk memacu ekonomi digital dan IR 4.0 akan dipertingkat, manakala penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi akan terus diperkukuh.\nDemikian titah ucapan Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan mencemar duli berangkat menyempurnakan perasmian majlis penutup program Innovate Tech Show dan Global Drone Conference & Exhibition 2022 yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE Kuala Lumpur pada petang semalam. Program tersebut dianjurkan oleh Best Events Productions.\nMelihat peri pentingnya teknologi dalam memacu ekonomi negara, titah baginda:\nMalaysia seharusnya menguasai pendigitalan yang akan membawa bersama kepada peningkatan taraf hidup dan kemakmuran rakyat. Di bawah IR 4.0, teknologi digital memangkin ekonomi digital serta bidang ekonomi lain termasuk ekonomi hijau dan ekonomi kitaran.\n\u00a0\nTambah Tuanku Raja Muda, \u201cBagi menjadi sebuah \u2018negara yang diimpikan\u2019, Malaysia perlu memanfaatkan segala peluang dan kekuatan untuk mengharungi cabaran revolusi digital. Kita perlu bijak menyesuaikan diri, sentiasa bersemangat untuk terus belajar, dan menyumbang ke arah masa hadapan yang mencerminkan objektif dan nilai yang kita kongsi secara bersama.\u201c" "Harga Runcit RON97, RON95 dan Diesel Kekal\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "TNB Rangkul Anugerah Emas SSON Asia Impact Awards 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Rizab Antarabangsa BNM Berjumlah USD104.5 Bilion Pada Oktober\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Elsevier-MTUN Symposium 2022 Membangunkan Ekosistem Keusahawanan Mampan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDemikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ketika berkenan berangkat merasmikan \u201cElsevier-MTUN Symposium 2022\u201d yang diadakan di Auditorium Canselori Tuanku Syed Sirajuddin di Kampus Alam UniMAP Pauh Putra semalam.\nAntara universiti MTUN negara yang terlibat, termasuklah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sendiri.\nMenurut Tuanku Raja Muda, \u201cGraduan kini berhadapan dengan cabaran memasuki bidang pekerjaan bersesuaian dengan bidang pengajian yang diikuti di Universiti. Kita juga sedia maklum bahawa pasaran pekerjaan juga berubah dengan munculnya pelbagai kerjaya baru dengan penguasaan pengetahuan dan kemahiran baharu\u201c.\nUntuk rekod, Malaysia mengangkat TVET daripada program persijilan pada peringkat sekolah kepada pengajian tinggi, dan kini disemarakkan melalui penawaran program teknologi di MTUN. Memperkasakan\u00a0 TVET bagi membangunkan dan mengembangkan bakat merupakan strategi Game Changer negara. Sesungguhnya, MTUN merupakan pemacu penting agenda berkenaan." "Pesta Buku Raikan 100 Tahun UPSI\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTanjung Malim \u2013 Bersempena dengan 100 tahun Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Pejabat Karang Mengarang, UPSI menganjurkan Pesta Buku Sempena 100 Tahun UPSI dan Fiesta Buku Mualim 2022.\nPesta buku ini disertai oleh 25 pemaper yang terdiri daripada penerbit\u00a0 buku dari pelbagai agensi awam dan swasta, termasuklah penerbit universiti, dari seluruh negara.\nPenganjuran Pesta Buku Sempena 100 Tahun UPSI dan Fiesta Buku Mualim 2022 bertujuan meningkatkan keterlihatan UPSI melalui program penerbitan dan pemasaran buku oleh Pejabat Karang Mengarang, UPSI.\n\n\nPesta Buku Sempena 100 Tahun UPSI dan Fiesta Buku Mualim 2022 ini dirasmikan oleh YB Ahmad Saidi Muhamad Daud, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Negeri Perak.\nDalam majlis perasmian pagi ini yang turut dihadiri oleh YBhg. Puan Sri Datuk Seri Rohani Parkash Abdullah, YB Ahmad Saidi juga melancarkan beberapa buah buku baharu terbitan UPSI, kedai buku dan kedai buku secara dalam talian UPSI dan kad UPSI Privilege.\nMenurut Naib Canselor UPSI, Profesor Dato\u2019 Dr. Md Amin Md Taff, pesta buku yang menyediakan pelbagai kegiatan ini bakal menarik minat sebanyak 10 0000 orang masyarakat di sekitar Tanjung Malim.\n\nSementara itu, YB Ahmad Saidi menyatakan bahawa UPSI berperanan penting dalam kemenjadian pelajar melalui ilmu pendidikan agar mereka dapat memberi sumbangan yang besar kepada bangsa dan negara. Kemenjadian pelajar dapat dipupuk melalui budaya cinta akan buku dan ilmu seperti cogan kata, \u201cBuku Jendela Dunia\u201c.\nUniversiti Pendidikan Sultan Idris merupakan universiti pendidikan pertama di Malaysia. Pada peringkat awal UPSI dikenali sebagai Sultan Idris Training College for Malay Teachers (SITC).\nPenubuhan SITC diilhamkan oleh Richard Olaf Winstedt (R. O. Winstedt) yang pernah berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Pelajaran Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu menerusi laporannya yang disiarkan dalam tahun 1917. Antara lain beliau mencadangkan agar sebuah maktab perguruan didirikan di Perak bagi memperluas skop pendidikan di negara ini.\nSITC dirasmikan oleh Sir George Maxwell, Ketua Setiausaha Negara pada 9 November 1922. Pada tahun 1959, bagi memenuhi tuntutan Laporan Razak, SITC ditukarkan namanya kepada Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) yang khusus untuk melatih guru-guru sekolah rendah.\n\nPada 21 Februari 1987, MPSI dinaikkan taraf menjadi institut dan dikenali dengan nama Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI).Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)\u00a0 diisytiharkan sebagai sebuah universiti pada 1 Mei 1997 melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 132 & 133 pada 24 Februari 1997, di bawah dua buah Perintah iaitu Perintah Universiti Pendidikan Sultan ldris (Perbadanan) 1997 dan Perintah Universiti Pendidikan Sultan ldris (Kampus) 1997.\nUniversiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)\u00a0 diisytiharkan sebagai sebuah universiti pada 1 Mei 1997 melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 132 & 133 pada 24 Februari 1997, di bawah dua buah Perintah, iaitu Perintah Universiti Pendidikan Sultan ldris (Perbadanan) 1997 dan Perintah Universiti Pendidikan Sultan ldris (Kampus) 1997." "Minda Keusahawanan Siswazah melalui Industri Kreatif\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTanjung Malim \u2013\u00a0 Siswazah merupakan pemangkin kemampanan pembangunan negara.\u00a0 Menyedari tentang peri pentingnya peranan mahasiswa terhadap pembangunan sektor ekonomi negara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Pengurusan Perniagaan dan Keusahawanan serta Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bekerjasama menganjurkan program \u201cPenyuburan Minda Keusahawanan Siswazah melalui Pemupukan Bakat Penulisan Bersama-sama Dewan Ekonomi\u201c.\nProgram kerjasama antara DBP dengan Pusat Karang Mengarang, UPSI ini juga diadakan bersempena dengan Pesta Buku 100 Tahun Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Fiesta Buku Muallim 2022 di UPSI, Tanjung Malim, Perak (yang berlangsung dari 31 Oktober 2022 hingga 3 November 2022).\nProgram yang menampilkan dua orang ahli panel, iaitu Profesor Madya Dr. Zuraidah Zainol pensyarah di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UPSI dan Puan Ritah Yahaya, editor\u00a0 Dewan Ekonomi ini berjaya mengumpulkan kira-kira 100 orang mahasiswa dan pensyarah FPE.\n\nObjektif program adalah untuk membudayakan ilmu melalui galakan membaca bahan bacaan yang bermutu dalam bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat. Di samping itu, program ini bertujuan mempergiat kegiatan persuratan melalui pemupukan bakat penulisan dalam bahasa kebangsaan kepada bakal penulis melalui sesi perbincangan dan\u00a0 soal jawab antara editor dengan peserta untuk menghasilkan karya yang sesuai dan bermutu agar dapat diterbitkan dalam majalah Dewan Ekonomi.\nSelain itu, penganjuran program ini\u00a0 bertujuan menjelaskan kepentingan nilai dan minda keusahawanan dalam mencipta, mencemerlangkan kerjaya dan mengupayakan kebolehpasaran siswazah.\nProfesor Madya Dr. Zuraidah mengupas isu berkaitan dengan ekonomi semasa dan memberikan kesedaran kepada para mahasiswa agar mereka bersiap siaga membangunkan diri dan menyuburkan minda keusahawanan bagi mengupayakan kebolehpasaran siswazah, khususnya dalam mendepani cabaran ketidaktentuan ekonomi tempatan dan global pada hari ini. Antara elemen yang dikaitkan dalam minda keusahawanan, termasuklah berilmu pengetahuan yang luas, positif, berfikir secara kreatif dan kritis, dan berazam serta berusaha bersungguh-sungguh dengan melihat masalah sebagai peluang.\n\nSementara itu, Puan Ritah Yahaya menjelaskan kepentingan minda keusahawanan yang mempunyai kerelevanan dengan ekonomi industri kreatif. Satu daripada komponen penting dalam industri kreatif ialah bidang penerbitan. Bidang penerbitan mempunyai kaitan rapat dengan kegiatan dan hasil penulisan. Oleh hal yang demikian, Puan Ritah membincangkan teknik dan petua penulisan rencana yang baik dan bermutu berkaitan dengan bidang ekonomi yang boleh menarik perhatian sidang editor, khususnya majalah Dewan Ekonomi untuk diterbitkan.\nMenurut beliau,\u00a0 kegiatan penulisan boleh menjanakan pendapatan tambahan kepada golongan mahasiswa yang turut terkesan dengan keadaan ekonomi semasa. Sekiranya seseorang itu mempunyai minat, berdisiplin dan tekal dalam menghasilkan penulisan, berani meneroka peluang dan mahu berkongsi ilmu melalui pelbagai wadah, sama ada secara konvensional ataupun digital, mereka berupaya menjanakan pendapatan untuk meringankan kos sara hidup yang semakin tinggi.\nProgram ini berjaya mencapai objektifnya apabila mendapat respons yang amat mengalakkan daripada para pensyarah dan mahasiswa FPE melalui sesi ceramah dan kuiz yang dianjurkan. Penasihat program,\u00a0Profesor Madya Dr. Khoo Yin Yin mengharapkan agar program yang baik seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi\u00a0 menyuburkan minda keusahawanan dalam kalangan siswazah. \nKenyataan ini turut disokong oleh penyelaras program, Dr. Kesavan Nallaluthan yang melihat pembangunan minda keusahawanan sebagai elemen yang sangat penting bagi mengupayakan kebolehpasaran siswazah yang perlu digerakkan pada peringkat\u00a0 universiti lagi." "Buku kepada Sekolah di Daerah Muallim\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTanjung Malim \u2013 Bersempena dengan 100 tahun Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Pejabat Karang Mengarang, UPSI menganjurkan Pesta Buku Sempena 100 Tahun UPSI dan Fiesta Buku Mualim 2022.\nMenurut Puan Faridah Hanim Aziz, Perancang Bahasa di Pejabat Karang Mengarang, UPSI, pesta buku ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan sebanyak 25 pemaper yang terdiri daripada penerbit\u00c2\u00a0 buku dari pelbagai agensi awam dan swasta dari seluruh negara, termasuklah penerbit universiti dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.\n\nPenganjuran Pesta Buku Sempena 100 Tahun UPSI dan Fiesta Buku Mualim 2022 bertujuan meningkatkan keterlihatan UPSI melalui program penerbitan dan pemasaran buku oleh Pejabat Karang Mengarang, UPSI.\nPesta Buku Sempena 100 Tahun UPSI dan Fiesta Buku Mualim 2022 ini dirasmikan oleh YB Ahmad Saidi Muhamad Daud, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Negeri Perak.\nDalam majlis yang sama, YB Ahmad Saidi turut menyerahkan sumbangan buku kepada beberapa buah sekolah di daerah Muallim. Antara sekolah tersebut termasuklah Sekolah Kebangsaan Methodist Tanjong Malim, Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim, Sekolah Kebangsaan Proton City, dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tan Sri Datuk Manickavasagam." "Pelarasan Bajet Mungkin Dilaksanakan Berdasarkan Ekonomi Semasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Pemantapan Frasa Sendi Nama Majmuk\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPemerkasaan tatabahasa bahasa Melayu wajib dipergiat, antaranya dengan cara terus-menerus membedah kesalahan bentuk atau ayat dan frasa lalu membetulkannya. Artikel ini sekadar menyentuh aspek kesalahan umum dalam penggunaan frasa sendi nama yang sangat kerap dilakukan oleh pengamal media dan pemantapannya.\nTerasa sakit telinga, pedih mata dan sakit kepala setiap kali kita menonton TV. Kenapa? Ada-ada sahaja kesalahan penggunaan bahasa Melayu yang dipaparkan dalam rancangan secara langsung, rakaman, berita dan hiburan. Sekilas pandang, kesilapan bahasa yang kecil-kecil yang disebabkan oleh ketidakprihatinan (yang seharusnya tidak berlaku) boleh kita anggap sebagai kes terpencil yang harus dimaafkan. Namun begitu, kesilapan bahasa yang berlaku berulang-ulang kali didapati membentuk suatu pola kesalahan yang membahayakan yang akan merosakkan sistem bahasa Melayu standard dalam pendidikan dan penggunaan umum secara jangka panjang.\nSejenis kesalahan bahasa yang berpola yang kerap kali berlaku melalui siaran TV ialah ketidaktentuan penggunaan \u201cfrasa sendi nama\u201d yang berfungsi dalam \u201cfrasa keterangan hal\u201d bagi kedua-dua jenis ayat transitif dan tak transitif. Frasa sendi nama yang kerap digunakan itu termasuklah tentang, mengenai, darihal, perihal, terhadap, dengan, fasal dan atas. \nSelain itu, terdapat frasa sendi nama dalam bentuk gabungan dengan kata dengan, iaitu berkenaan dengan, bersabit dengan, berkaitan dengan, berhubung dengan, berhubungan dengan, sehubungan dengan dan bersangkutan dengan serta beberapa lagi yang seumpamanya.\nJom kita ulang kaji tentang aturan penggunaan frasa sendi nama keterangan hal yang betul dengan menggunakan jalan yang mudah, yakni dengan memaparkan contoh ayat yang mengandungi frasa sendi nama yang berbeza.\n(1) BETUL: Jawatankuasa itu sedang berbincang tentang bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin.\n(2) BETUL: Jawatankuasa itu sedang membincangkan bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin.\n(3) SALAH: Jawatankuasa itu sedang membincangkan tentang bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin.\nDalam ayat (1) yang betul bentuknya, kata kerja tak transitif berbincang disusuli oleh kata sendi nama tentang yang terletak di depan kata nama bantuan sebagai objek dalam frasa keterangan hal \u201ctentang bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin\u201d. Dalam kes ini, kata kerja tak transitif yang berkenaan adalah berupa, biasanya, kata yang bermaksud \u201cberkata atau bercakap tentang sesuatu\u201d seperti \u201cbermesyuarat, bercerita, berdebat, bertengkar, bersyarah, berwacana\u201d, dan termasuk \u201cberfikir\u201d.\nDalam kes yang lain, kata sendi nama keterangan hal boleh hadir selepas pelbagai jenis kata kerja tak transitif. Rumus bagi aturan ini ialah \u201ckata kerja tak transitif + kata sendi nama + kata nama sebagai objek\u201d. Dengan rumus ini, kita dapat membentuk frasa lain YANG BETUL bentuknya seperti dalam ayat contoh yang berikut:\n(4) Jawatankuasa itu sudah bermesyuarat mengenai cadangan untuk mengadakan konsert amal.\n(5) Pelajar-pelajar itu bercerita perihal kehidupan zaman muda guru mereka.\n(6) Menteri tersebut bercakap darihal projek mega itu pada satu sidang media pada hari Ahad yang lalu.\n(7) Banyak pengikut yang tidak bersetuju dengan pandangan pemimpin mereka itu.\n(8) Kumpulan kiri tersebut sentiasa berbantah terhadap cadangan perjanjian damai itu.\n(9) Keluarga asnaf tersebut berterima kasih atas keprihatinan pihak wakil rakyat di kawasan itu.\nDalam ayat (2) yang juga betul bentuknya, kata kerja transitif membincangkan disusuli oleh kata nama bantuan sebagai objek tepat dalam frasa keterangan hal \u201cbantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin\u201d. Sebagai kata kerja transitif aktif (yang ditandai oleh apitan meN-.-kan atau meN-.i atau meN-), kata membincangkan disusuli oleh kata nama objek tepat bantuan secara langsung tanpa didahului oleh apa-apa unsur kata sendi nama. Rumus bagi aturan ini ialah \u201ckata kerja transitif + kata nama sebagai objek tepat\u201d. Dengan rumus ini, kita dapat membentuk frasa nama lain YANG BETUL bentuknya seperti dalam ayat contoh yang berikut:\n(10) Jawatankuasa yang bermesyuarat itu sudah membincangkan cadangan untuk mengadakan konsert amal.\n(11) Pelajar-pelajar itu ingin mengetahui kehidupan zaman muda guru mereka.\n(12) Menteri tersebut menjelaskan hal projek mega itu pada satu sidang media pada hari Ahad.\n(13) Banyak pengikut yang tidak menyetujui pandangan pemimpin mereka itu.\n(14) Kumpulan kiri tersebut sentiasa membantahi cadangan perjanjian damai itu.\nDalam ayat transitif aktif, kata sendi nama yang berfungsi sebagai frasa keterangan hal sama sekali tidak boleh disisipkan di antara kata kerja transitif aktif dengan kata nama sebagai objek. Diperturunkan beberapa ayat contoh YANG SALAH bentuknya, iaitu:\n(15) *Jawatankuasa yang bermesyuarat itu sudah membincangkan tentang cadangan untuk mengadakan konsert amal.\n(16) *Pelajar-pelajar itu ingin mengetahui darihal kehidupan zaman muda guru mereka.\n(17) *Menteri tersebut menjelaskan mengenai hal projek mega itu pada satu sidang media pada hari Ahad yang lalu.\n(18) *Banyak pengikut yang tidak menyetujui dengan pandangan pemimpin mereka itu.\n(19) *Kumpulan kiri tersebut sentiasa membantahi terhadap cadangan perjanjian damai itu.\n(20) *Penglipur lara itu sedang mengisahkan perihal hikayat Si Miskin kepada para peserta bengkel sastera tradisional tersebut.\n(21) *Penduduk-penduduk kampung tersebut sangat menghargai atas keprihatinan pihak wakil rakyat di kawasan mereka.\n(22) *Rancangan itu membicarakan fasal permasalahan penggunaan bahasa dalam kalangan generasi muda.\nSudah kita sebutkan tentang wujudnya frasa sendi nama dalam bentuk gabungan dengan kata dengan, iaitu berkenaan dengan, bersabit dengan, berkaitan dengan, berhubungan dengan, sehubungan dengan dan bersangkutan dengan serta beberapa lagi yang seumpamanya. Frasa sendi nama majmuk ini berfungsi yang sama dengan kata sendi nama seperti tentang, mengenai, darihal, perihal, terhadap dan atas (seperti yang telah dijelaskan), yakni di pangkal frasa keterangan hal dalam ayat, atau terletak dalam frasa keterangan relatif.\nKesalahan penggunaan frasa sendi nama majmuk ini paling ketara melalui siaran media penyiaran atau elektronik (TV atau radio). Apakah yang berlaku? Pihak TV atau radio mengambil tindakan dan membuat peraturan mereka sendiri yang bercanggah dengan aturan sistem tatabahasa standard yang sudah mantap, yakni menggugurkan kata sendi nama dengan dan menggunakan kata yang pertama sahaja. Contoh: frasa \u201cberhubungan dengan perkara itu\u201d disingkatkan menjadi bentuk yang salah *\u201dberhubungan perkara itu\u201d dan \u201cberkenaan dengan perkara itu\u2019 menjadi *\u2018berkenaan perkara itu\u201d.\nJom kita ulang kaji tentang aturan penggunaan frasa sendi nama majmuk yang berfungsi dalam frasa keterangan hal atau keterangan relatif yang betul. Sekali lagi, kita gunakan jalan yang mudah, yakni dengan memaparkan ayat contoh yang mengandungi frasa sendi nama majmuk yang berbeza.\n(23) BETUL: Jawatankuasa itu berbincang tentang perkara yang berhubungan dengan bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin.\n(24) SALAH: *Jawatankuasa itu berbincang tentang perkara yang berkenaan bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin.\nDalam ayat (23), kata berhubungan dalam frasa berhubungan dengan ialah bentuk terbitan daripada gabungan awalan beR- dengan hubungan. Dalam bentuk ini, awalan beR- merujuk maksud \u201cmempunyai\u201d atau \u201cada\u201d atau \u201csama\u201d. Oleh itu, berhubungan membawa makna \u201cmempunyai hubungan(nya)\u201d atau \u201cada hubungan(nya)\u201d atau \u201csama hubungan(nya)\u201d. Jadi, apabila disebut berhubungan dengan, maka maksudnya menjadi \u201cmempunyai atau ada atau sama hubungan(nya) dengan sesuatu (yang lain)\u201d. Dengan itu, ayat (23) boleh ditulis semula menjadi ayat (25) yang berikut:\n(25) BETUL: Jawatankuasa itu berbincang tentang perkara yang mempunyai (atau ada) hubungan(nya) dengan bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin.\nSeandainya kata dengan digugurkan, maka ayat (25) menjadi tidak gramatis dan taksa maksudnya seperti yang berikut:\n(26) SALAH: *Jawatankuasa itu berbincang tentang perkara yang mempunyai (atau ada) hubungan(nya) bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin.\nFrasa sendi majmuk berhubungan dengan menjadi salah kalau digantikan dengan *berhubung dengan kerana yang kedua ini membawa maksud \u201cberkomunikasi atau bercakap/menulis dengan\u201d. Frasa bersangkutan dengan pula tidak boleh digantikan dengan *bersangkut dengan yang bererti \u201cbergantung, berpaut, berpegang dengan\u201d. Lihat bentuk ayat contoh yang SALAH:\n(27) SALAH: *Jawatankuasa itu berbincang tentang perkara yang berhubung dengan bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin.\n(28) SALAH: *Jawatankuasa itu berbincang tentang perkara yang bersangkut dengan bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin.\nMalahan, dalam kes sehubungan dengan, amat jelas maksud \u201csama hubungan(nya) dengan sesuatu (yang lain)\u201d kerana awalan se- merujuk maksud \u201csama\u201d atau \u201cserupa\u201d. Dalam hal ini, kesalahan bentuk bukan sahaja berlaku kerana tiadanya perkataan dengan tetapi juga kerana kata sehubungan ditukar menjadi *sehubung, tanpa akhiran -an. Awalan se- tidak pernah bergabung dengan kata kerja \u201chubung\u201d tetapi hanya dengan kata nama \u201chubungan\u201d. Lihat ayat contoh yang berikut:\n(29) BETUL: Jawatankuasa itu berbincang tentang perkara yang sehubungan dengan bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin.\n(30) SALAH: *Jawatankuasa itu berbincang tentang perkara yang sehubungan bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin.\n(31) SALAH: *Jawatankuasa itu berbincang tentang perkara yang sehubung dengan bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin.\n(32) SALAH: *Jawatankuasa itu berbincang tentang perkara yang sehubung bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin.\nAturan pembentukan kata dan maksud yang sama jugalah yang berlaku bagi frasa sendi nama majmuk berkenaan dengan, bersabit dengan (bukan bersabitan dengan), berkaitan dengan, dan bersangkutan dengan seperti dalam ayat contoh yang BETUL yang berikut:\n(33) Kerajaan sangat-sangat prihatin terhadap penyelesaian masalah yang berkenaan dengan kos sara hidup dalam kalangan pelbagai komuniti rakyat kita.\n(34) Peguam pihak tertuduh itu akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang bersabit dengan kes tuntutan ganti rugi anak guamannya.\n(35) Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan untuk merancang tindakan yang berkaitan dengan masalah kebanjiran pendatang tanpa izin tersebut.\n(36) Perkara kelemahan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Melayu tidak bersangkutan langsung dengan kelemahan mereka dalam bidang ilmu matematik, sains atau teknologi.\nKesimpulannya, frasa sendi nama majmuk yang sudah mantap dalam urusan pendidikan dan penggunaan umum ialah berkenaan dengan, bersabit dengan, berkaitan dengan, berhubungan dengan, sehubungan dengan dan bersangkutan dengan. Janganlah gugurkan perkataan dengan dengan alasan yang tidak munasabah, yakni kononnya untuk menjimatkan masa siaran atau ruang dalam tulisan. Gunakanlah frasa sendi nama majmuk itu dengan cara yang betul untuk terus memelihara kepersisan tatabahasa bahasa Melayu standard yang sudah mantap semenjak dahulu lagi." "Rangkaian Borong Tunggal 5G DNB dan MNO Berpotensi Jimat RM30 Bilion\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan bahawa pelaksanaan rangkaian borong tunggal 5G yang pertama di dunia oleh Digital Nasional Bhd (DNB), pengendali rangkaian mudah alih (MNO) dalam industri telekomukasi Malaysia berpotensi untuk menjimatkan kos pembinaan infrastruktur kira-kira RM30 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang.\nPada 31 Oktober lepas, lima MNO Malaysia, Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd (TM), U Mobile Sdn Bhd, dan YTL Communications Sdn Bhd (YES) masing-masing telah menandatangani perjanjian akses 5G bersama DNB. Beliau menyifatkan perjanjian akses 5G yang dimeterai oleh lima MNO dan DNB tersebut merupakan pencapaian penting dalam melaksanakan visi 5G negara bagi memacu pembangunan ekonomi digital dalam tempoh jangka panjang." "Malaysia Airlines Lancar Penerbangan Terus Dua Kali Seminggu KL-Yogyakarta\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "BNM Naikkan OPR Sebanyak 25 Mata Asas kepada 2.75%\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Bank Semak Semula Kadar Rujukan Susulan Kenaikan OPR\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Kadar Pengangguran Negara Berada Paras Terendah Sejak Pandemik COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Firma Penyelidikan Unjur OPR Dinaikkan Lagi Tahun Depan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Raja Muda Perlis Melancarkan Lorong Rakyat Bank Rakyat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Perlis \u2013 Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan projek Lorong Rakyat Bank Rakyat di Program Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai Kuala Perlis pada petang semalam.\nKeberangkatan tiba baginda disambut oleh, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr Mohammad Hanis Osman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaannya, Ahmad Shahril Mohd Shariff serta Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi, Nizam Sani.\nTurut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato\u2019 Suriani Dato\u2019 Ahmad\u00a0 merangkap Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor. Suriani dalam ucapan beliau di majlis tersebut memaklumkan bahawa tujuan pelaksanaan inisiatif penjenamaan Bank Rakyat di Kampung Warna-Warni Seberang Ramai dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis tersebut adalah sebagai usaha pihak Bank menyokong aktiviti pengindahan kawasan kampung nelayan ini selain dapat memberikan manfaat kepada komuniti setempat dari segi pembangunan ekonomi melalui aktiviti eko-pelancongan.\n\u2018Bank Rakyat amat berbesar hati membantu melaksanakan pelbagai aktiviti pengindahan kampung antaranya seperti Inisiatif Lorong Rakyat yang diceriakan dengan hiasan payung yang digantung sebagai lelangit bagi menghidupkan suasana lorong kecil di kampung, melaksanakan aktiviti bergotong-royong mengecat 16 buah rumah bersama-sama warga kerja cawangan Bank Rakyat Arau dan Kangar serta penduduk kampung yang merupakan salah satu aktiviti kesukarelawanan program BAKTI RAKYAT Bank Rakyat.\nTambah beliau, \u201cPada masa yang sama Kebun Nuri Nutrisi Bank Rakyat\u2019 iaitu kebun komuniti lestari turut diwujudkan di kampung berkenaan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi membantu penduduk kampung dalam kalangan B40 untuk menjana pendapatan secara lestari dengan menguruskan tanaman yang hasilnya boleh dijual bagi meningkatkan ekonomi mereka selain menjamin sekuriti makanan.\u201c\nPada kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda menghargai dedikasi serta semangat ditunjukkan yang membuktikan bahawa Bank Rakyat bukan sahaja merupakan institusi kewangan yang mementingkan prestasi tetapi turut peka dan mengambil berat terhadap keperluan dan kebajikan masyarakat luar bandar.\nTambah Tuanku Syed Faizuddin Putra, inisiatif Lorong Rakyat ini adalah bertepatan dengan usaha untuk mengangkat kawasan kampung nelayan ini sebagai satu pilihan destinasi pelancongan. Sesungguhnya, aspirasi transformasi ini memerlukan sokongan daripada semua pihak bagi membantu meningkatkan lagi taraf ekonomi penduduk setempat\u2019.\nBaginda juga percaya bahawa inisiatif ini yang berorientasikan kerja kesukarelawanan dan khidmat masyarakat seperti ini sudah tentu akan memberi manfaat yang besar kepada masyarakat setempat." "Nilai Kerja Pembinaan Suku Ketiga Melonjak 23.2% kepada RM30.5 Bilion\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "RISDA Peruntukkan RM508.02 Juta untuk Pekebun Kecil Getah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "KDNK Suku Ketiga 2022 pada 12.2%\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Perlu Rasional dan Pragmatik terhadap Bahasa Ibunda\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bahasa ibunda ialah bahasa yang sangat penting kepada sesuatu bangsa ataupun kaum. Hal ini demikian kerana bahasa ini digunakan mereka untuk mengungkapkan serta melontarkan pemikiran tentang sesuatu perkara atau meladeni tamadun mereka. Sehubungan dengan itu, menurut Prof. Dr. Abdul Rasid Jamian (Profesor dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris), bahasa ibunda ialah bahasa yang diwarisi dan dipelajari pada peringkat awal yang dikuasai oleh individu, yang kemudiannya menggunakannya dalam berinteraksi atau berkomunikasi dan menyampaikan buah fikiran melalui perbualan dalam ahli keluarga mahupun dalam lingkungan sesebuah keluarga.\nHal ini perlulah difahami oleh masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Sebagai contoh, bahasa Melayu merupakan bahasa ibunda kaum Melayu yang diangkat sebagai bahasa kebangsaan berdasarkan sejarah yang telah membuktikan bahasa ini sebagai bahasa perhubungan yang penting sejak dahulu lagi. Sebagai bahasa lingua franca, bahasa Melayu telah berjaya dalam fungsinya sebagai bahasa pentadbiran, bahasa perdagangan dan bahasa komunikasi umum dan masyarakat antarabangsa ketika itu dan kekal hingga hari ini.\nMenurut beliau lagi, bahasa ibunda diibaratkan sebagai entiti untuk saling melengkapi elemen Keluarga Malaysia. Bahasa ibunda turut mempunyai peranannya yang sangat penting dalam menentukan ikatan sesuatu bangsa kepada budaya, bahasa dan warisan yang dimiliki oleh sesuatu bangsa. Dalam konteks ini, bahasa Melayu berupaya mencetuskan jalinan kasih sayang antara kaum, kebersamaan dan keamanan yang berlangsung dalam bahasa ibunda yang lainnya dalam negara ini.\nBahasa ibunda juga mestilah menjadi bahasa yang diwarisi dan sebagai bahasa ilmu serta bahasa pengantar di institusi pendidikan. Bahasa ibunda mempunyai nilai murni dan berfungsi sebagai pembangun jati diri negara dan menampilkan citra perpaduan dalam kalangan rakyat secara keseluruhannya. Rakyat yang bersatu padu ini pula akan merangsang kemajuan negaranya dan aktiviti ekonomi akan menjadi lebih giat berlandaskan nilai ekonomi.\nTambah beliau, bahasa ibunda tetap berdepan dengan cabaran dalam era kini seperti cabaran globalisasi. Faktor ini boleh menjejaskan bahasa ibunda mana-mana bangsa sekalipun. Perlu disedari bahawa bahasa Inggeris telah menguasai semua bidang ilmu yang lain dan pastinya penguasaan terhadap bahasa Inggeris menjadi keutamaan oleh mana-mana kaum. Oleh itu, usaha perlu dilakukan oleh semua pihak agar melazimkan penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang untuk menjadikan bahasa ini sebagai\u00a0 bahasa yang penting.\nKatanya lagi, tanggapan sesetengah pihak yang memandang rendah terhadap bahasa Melayu juga menjadikan usaha menerapkan bahasa ibunda ini sebagai bahasa negara dan bahasa yang penting menemukan onak duri yang tidak berkesudahan. Kestabilan emosi menjadi tunjang penting kepada kesopanan dan peradaban sesuatu bahasa dan hal ini sudah tentu akan memberikan citra kepada bangsa atau sesebuah negara.\nBerdasarkan kajian yang telah dilaksanakan, beliau juga memaklumkan bahawa kesantunan bahasa yang digunakan dalam kehidupan seharian dan tutur kata yang berhemah berupaya melahirkan generasi yang kuat jati diri. Hal ini pastinya dapat mengekalkan serta melestarikan warisan budaya sesuatu bangsa. Masyarakat juga perlu bersifat rasional dan pragmatik kepada bahasa ibunda masing-masing untuk memastikan bahasa ini dapat dilestarikan dan bahasa Melayu pula dapat didaulatkan citranya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa negara yang berupaya digunakan dalam pelbagai bidang. Semoga sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa ini akan mencelikkan masyarakat bahawa bahasa ibunda dapat melahirkan citra jati diri sesuatu bangsa.\nDemikianlah antara penerangan menarik daripada Prof. Dr. Abdul Rasid Jamian yang bertajuk \u201cBahasa Ibunda Pendukung Warisan Budaya\u201d menerusi Slot Jendela Fikir di Bernama Radio, yang dikendalikan oleh penyampai Raifa Zulkifli, bersempena dengan sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa semalam yang dianjurkan oleh UNESCO. Sambutan ini diadakan pada setiap tahun oleh negara ahli UNESCO sejak tahun 1999 untuk memupuk kepelbagaian bahasa dan budaya yang terdapat di seluruh dunia." "Harga Bahan Binaan Terus Catat Penurunan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSebaliknya, firma itu menjangkakan margin akan terus bertambah baik pada suku keempat dan seterusnya meskipun dipengaruhi oleh kos buruh yang lebih tinggi. \u201cHal itu berikutan masalah kekurangan pekerja asing kerana kontraktor membayar lebih untuk projek penting, tetapi kami menjangkakan keadaan ini akan bertambah baik pada masa hadapan kerana pembinaan adalah antara sektor yang dibenarkan untuk mengupah pekerja dari semua 15 negara sumber yang dibenarkan.\u201c\u00c2" "KDNK Malaysia Tumbuh 14.2% pada Suku Ketiga 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "MAFI Sasarkan Produktiviti dan Pengeluaran Kelapa Meningkat 50%\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Apa Sebenarnya yang Dihirup Ketika Kita Bernafas?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nUdara mengandungi bahan cemar berbahaya yang langsung tak dapat\ndikesan oleh mata kasar .\n\u00a0\nKetika rakyat Malaysia memasuki era baharu fasa endemik \u201ctanpa pelitup muka\u201c, yang penggunaan pelitup muka tidak lagi diwajibkan di kebanyakan tempat awam termasuk dalam penerbangan, di pusat beli-belah dan sesetengah pejabat, perkara yang sering menimbulkan persoalan ialah bagaimanakah tahap kualiti udara kita? Lebih-lebih lagi, kini kebanyakan orang\u00a0 tidak lagi memakai pelitup muka, terdapat pelbagai bahan cemar lain yang perlu diawasi dan dihindari.\nPencemaran udara dan peningkatan bahan pencemaran di udara disebabkan oleh pelbagai faktor. Satu daripada faktor tersebut ialah aktiviti lazim seperti memandu kereta. Memandu memerlukan penggunaan bahan api, yang seterusnya menghasilkan bahan pencemar udara seperti karbon dioksida dan zarah berbahaya lain.\nPunca pencemaran udara lain, termasuklah debu yang ditiup angin dan pembakaran terbuka, kegiatan pertanian, loji janakuasa, kilang, dan tugasan harian di rumah kita. Lebih-lebih lagi, asap rentas sempadan yang ditiup oleh angin dari negara-negara jiran. Sebagai contohnya pembakaran terbuka yang menyebabkan jerebu di kawasan tertentu negara.\nKualiti udara Malaysia kini berada pada tahap sederhana dan boleh diterima. Walau bagaimanapun, menghirup udara berkualiti yang memuaskan sahaja tidak wajar untuk jangka panjang. Hal ini demikian kerana keadaan ini bukan sahaja mungkin menimbulkan masalah kesihatan, tetapi jika tiada apa-apa yang dilakukan sekarang, kualiti udara negara kita akan terus merosot.\nBerasaskan Indeks Kualiti Udara Malaysia, Sabah mempunyai kualiti udara yang paling bersih di Malaysia. Manakala Selangor mempunyai udara yang paling membimbangkan.\u00a0 Kuala Selangor ditarafkan sebagai kawasan yang paling tercemar, diikuti oleh Shah Alam, Petaling Jaya, dan Klang.\nSelain\u00a0 kualiti udara luar, kebersihan udara dalaman juga tidak kurang penting. Hal ini demikian kerana udara dalaman adalah dua hingga lima kali lebih tercemar daripada udara luar. Keadaan ini disebabkan oleh udara dalaman yang tidak banyak beredar, lebih-lebih lagi dengan tahap pengudaraan yang kurang baik.\nKeadaan ini seterusnya akan menyebabkan banyak bahan cemar bawaan udara seperti habuk, bulu haiwan peliharaan, debunga, virus, dan bakteria biologi lain terus hidup di ruang dalaman. Hakikat inilah yang memerlukan usaha kita untuk memastikan udara yang lebih sihat dan bersih. Satu cara untuk mendapatkan udara yang lebih berkualiti adalah dengan menggunakan penulen udara.\nSelain meringankan beban pernafasan bagi mereka yang lebih mudah jatuh sakit, penulen udara boleh memainkan peranan penting dalam ruang dalaman sebagai penghapus acuan dan debunga dari udara, meneutralkan bau yang kurang menyenangkan, meningkatkan kualiti tidur keseluruhan, dan mengurangkan alergi bagi mereka yang mengalami alahan atau haiwan peliharaan.\nBukan itu sahaja, penulen udara juga melindungi para wanita hamil dan ibu yang baharu melahirkan anak daripada bahaya bahan zarah dengan menapis semua bahan pencemaran yang tidak boleh dibersihkan menerusi pembersihan biasa yang dilakukan setiap hari.\nPenulen udara pintar serba baharu Coway Noble yang canggih dari segi teknologi terbukti dapat mengurangkan zarah halus seperti virus dan bakteria. Coway Noble merupakan alat kediaman yang sangat diperlukan di setiap ruangan dalam. Coway Noble\u00a0 menerima pelbagai anugerah reka bentuk bertaraf dunia dan bukan sahaja kelihatan anggun tetapi merupakan pembantu kediaman yang menambah baik kehidupan seisi rumah.\nAntara ciri yang menjadikan penulen udara ini begitu unik dan berkesan ialah teknologi penapis Double HEPA yang terbukti dapat membasmi hingga 99.999% varian Omicron SARS-CoV-2, Koronavirus Manusia (HCoV-OC43), dan virus Influenza A virus (H1N1). Penapis Double HEPA Coway diperkasakan dengan tambahan lapisan antibakteria dan lapisan antikulat yang menyediakan perlindungan berganda.\nPenulen udara Coway Noble dilengkapi\u00a0 lima jenis penapis berbeza dan disokong oleh pensterilan UVC yang merupakan sebahagian daripada sistem penapis enam langkah unik yang terbina di dalam penulen udara tersebut. Reka bentuk unik ini memberikan aliran udara berterusan yang sangat tulen, bersih dan paling penting sekali, selamat.\nLangkah pertama ialah Prapenapis 4D yang menyingkirkan zarah habuk besar, helaian rambut dan bulu haiwan peliharaan sambil mengalirkan udara dari setiap arah. Langkah kedua ialah Penapis Asap yang menghalang gas-gas berbahaya seperti Nitrogen Dioksida (NO2), dan langkah ketiga adalah mengurangkan alergen daripada anjing dan kucing dan juga kutu habuk dengan Penapis Alergen.\nDalam langkah 5, Penapis Double HEPA 4D bersedia menyahaktifkan 99.999% virus, termasuklah varian Omicron Covid-19, Influenza A (H1N1) dan Koronavirus Manusia. Akhir sekali, Pensterilan UVC dapat menyahaktifkan hingga 99.9% bakteria seperti E.Coli.\nNoble juga menggunakan penapis 4D pertama sepertinya dengan tahap penulenan 360\u00b0, yang direka khas untuk memerangkap, membersihkan dan mengalirkan udara dari setiap arah. Penulen udara Noble juga menggabungkan teknologi pintar terkini dengan melaporkan kualiti udara secara langsung.\nPetunjuk LED menyala pada bahagian atas penulen untuk memaklumkan pengguna dengan empat warna berbeza untuk menyatakan tahap pencemaran udara dalaman semasa. Petunjuk akan menyala dalam warna biru untuk baik, hijau untuk biasa, kuning untuk kurang baik dan merah untuk teruk.\nPenulen udara ini juga dilengkapi sensor habuk, cahaya dan gas dengan empat penetapan mod \u2013 smart (pintar), turbo, silent (senyap) dan eco (mesra alam).\u00a0 Penulen udara Coway Noble yang serba anggun ini boleh dipasang di mana-mana, walaupun dalam ruang yang kecil tanpa menimbulkan masalah.\nDouble HEPA dengan bahan penapis lanjutan menyahaktifkan hingga 99.999% varian Omicron SARS-CoV-2, virus Influenza A (H1N1), Koronavirus Manusia (HCoV-OC43) dengan prestasi antibakteria dan antikulat berasaskan ujian yang dijalankan oleh Kolej Perubatan Veterinar, Universiti Kebangsaan Jeonbuk, Korea Selatan." "Funding Societies dan Proton Tawar Pembiayaan kepada Pengedar Kereta Terpakai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Funding Societies, platform pembiayaan digital PKS terbesar di Asia Tenggara, mengumumkan kerjasama dengan pengeluar kereta nasional PROTON untuk menyediakan kemudahan kredit kepada pengedar PROTON untuk pembelian kereta bagi pembiayaan penstokan lantai (floor stocking).\nFunding Societies diasaskan pada tahun 2015 untuk memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Asia Tenggara dengan memperluas akses pembiayaan PKS\u00a0 dengan menyelesaikan kekangan-kekangan utama pembiayaan yang sering dihadapi PKS termasuk ketiadaan cagaran, keperluan dokumentasi yang merumitkan, serta tempoh pemprosesan yang panjang. Penyelesaian kekangan ini selari dengan komitmen Funding Societies untuk mengurangkan jurang pembiayaan PKS di Malaysia dan di rantau ini, lebih-lebih lagi memandangkan PKS merupakan tunjang ekonomi negara.\nChai Kien Poon, Ketua Negara, Funding Societies Malaysia, \u201cPermintaan untuk kenderaan persendirian menyaksikan peningkatan sejak separuh kedua 2020. Hal itu didorong kebimbangan masyarakat terhadap pengangkutan awam (impak krisis COVID-19) serta dasar kerajaan berketepatan semasa pandemik. Dengan fasiliti kredit pusingan, Funding Societies, pengedar PROTON boleh memanfaatkan pertumbuhan tersebut dengan meningkatkan inventori bagi tujuan jualan dengan meningkatkan inventori stok lantai kereta terpakai.\u201d\n\u201cSelaras dengan misi Funding Societies untuk memperluas kemudahan pembiayaan kepada PKS terpinggir yang berkelayakan kredit, kemudahan kredit pusingan ini memberikan pengalaman pembiayaan lebih lancar kepada pengedar PROTON. Mereka boleh menggunakan kemudahan itu pada bila-bila masa dan di mana sahaja selepas pengaktifannya. Di samping itu, pengedar akan turut mempunyai akses kepada sistem pembiayaan rantaian bekalan dalam talian kami untuk menguruskan fasiliti pembiayaan mereka,\u201d tambah Chai.\n\u201cDengan peningkatan jumlah jualan PROTON sejak beberapa tahun ini, kami telah melihat peningkatan transaksi jual atau tukar beli. Melalui kemudahan pembiayaan pengedar yang disediakan oleh Funding Societies, pengedar kami boleh membiayai pembelian pembiayaan penstokan lantai bagi membolehkan transaksi tukar beli,\u201d kata Wan Ahmad Fadzli Wan Mustafa, Pengurus Besar, Proton Edar.\nSejak penubuhannya pada tahun 2019, unit Pengurusan Kereta Terpakai (UCM) PROTON telah memperkenalkan prosedur operasi dan menyediakan latihan kepada Pemeriksa Kereta Terpakai untuk menguruskan transaksi di setiap cawangan dan memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah selaras dengan piawaian yang ditetapkan oleh jenama tersebut. Pada masa ini, syarikat itu mempunyai 35 cawangan yang menjual kenderaan Proton Certified Pre-Owned (PCPO) di negara ini.\n\n\u201cPengedar yang berminat untuk memohon pembiayaan tersebut boleh melayari platform dalam talian Funding Societies. Mereka menyediakan pembiayaan sehingga 85% daripada nilai transaksi dengan tempoh pembayaran balik sehingga 90 hari. Dengan kemudahan fasiliti ini, pengedar kami boleh mengembangkan perniagaan mereka dengan mengumpul modal jangka pendek untuk menguruskan aliran tunai mereka serta menggunakannya untuk pembelian kereta baharu daripada Proton Edar,\u201d rumus Wan Ahmad Fadzli.\nKenderaan yang dijual di bawah program PCPO menjalani pemeriksaan menyeluruh 201 mata dan dijamin bebas daripada sebarang kerosakan banjir atau kemalangan besar. Pelanggan juga menikmati lanjutan jaminan selama 1 tahun yang meliputi enjin dan transmisi serta satu sesi perkhidmatan servis percuma dalam tempoh enam bulan dari tarikh pendaftaran.\nDengan peralihan kepada platform dalam talian yang semakin meningkat, UCM juga telah menyediakan laman web kereta terpakai PROTON khusus (http://used-cars.proton/com) untuk menarik pembeli yang celik teknologi. Pembeli boleh melihat stok tanpa berkunjung ke bilik pameran dan melayari laman web untuk mendapatkan anggaran harga pasaran kereta terpakai." "Bursa Malaysia Kembali Catat Aliran Masuk Asing Sebanyak RM425.62 Juta Pada Minggu Lalu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Festival Beli-belah \u201c11.11\u201d Alibaba Sokong Jenama Berkualiti dan Peniaga\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHangzhou, China \u2013 Alibaba Group Holding Limited (NYSE: BABA; HKEX: 9988) dengan jayanya menutup Festival Beli-belah Global 11.11 (\u201c11.11\u201d) tahunan ke-14, dan menghasilkan keputusan sejajar dengan prestasi GMV (nilai dagangan kasar) tahun lepas meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran makro dan impak yang berkaitan dengan COVID-19.\nFestival 11.11 pada tahun ini menampilkan lebih daripada 290 000 jenama daripada lebih 90 buah negara dan rantau merentas 7000 kategori produk. Dalam tempoh empat jam pertama, yang bermula pada pukul 8.00 malam, 10 November 2022, lebih daripada 130 jenama melebihi RMB100 juta dalam GMV janaan ahli.\nLebih 5600 jenama menyaksikan GMV janaan ahli mereka meningkat lebih dua kali berbanding dengan empat jam pertama pada tahun lepas. \u201cKami merakamkan terima kasih kepada peniaga yang mengambil bahagian dan rakan kongsi ekosistem kami kerana bekerjasama dengan kami untuk menghasilkan Festival Beli-belah Global yang menunjukkan trajektori pertumbuhan yang kukuh dan memberangsangkan. Kita menyaksikan daya tahan dan kedinamikan sektor penggunaan China,\u201d jelas Chui Xue, Presiden Pembangunan Industri dan Pusat Operasi Taobao dan Tmall, Kumpulan Alibaba.\n\u201cKeutamaan kami untuk 11.11 ini adalah untuk meningkatkan kepastian operasi para peniaga kita. Kami berbesar hati dapat membantu jenama dan peniaga yang mengambil bahagian mengumpulkan pelanggan setia baharu semasa festival yang akan berperanan sebagai asas yang kukuh bagi kemampanan operasi mereka.\nKami juga berasa teruja melihat kemunculan trend penggunaan baharu yang diiringi potensi besar yang belum dimanfaatkan. Kami akan terus berinovasi dan memperkukuh keupayaan kami untuk menyediakan para peniaga kami dengan peluang yang berdaya harap untuk pertumbuhan jangka panjang dan menggembleng usaha yang bersepadu untuk memenuhi keperluan pengguna yang semakin berkembang.\u201d\nPada tahun kedua pengendaliannya yang menggunakan awan (cloud) secara sepenuhnya, Festival Beli-belah Global menyaksikan kecekapan pengkomputeran yang bertambah baik didorong oleh pengkomputeran berprestasi tinggi dan penggunaan teknologi yang inovatif.\nKos pengkomputeran bagi setiap unit sumber berkurangan sebanyak 8% berbanding dengan tahun lepas, iaitu dari 1 April hingga 11 November 2022." "Malaysia Airlines Menambah Kekerapan Penerbangan Destinasi Domestik Menjelang PRU15\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Penganalisis Menjangkakan Ekonomi Malaysia Berkembang Lebih 8% pada Tahun Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada kali terakhir ekonomi negara ini mencatatkan pertumbuhan dua angka ialah pada suku kedua tahun lalu sebanyak 16.1%. Maybank Investment Bank (IB) telah menyemak naik pertumbuhan tahun ini kepada 8% daripada 6% yang dijangkakan sebelum ini meskipun ekonomi suku keempat dijangka berkembang sederhana. Menurut firma itu, terdapat beberapa pemangkin dalam tempoh terdekat terutamanya keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini dan implikasi terhadap kestabilan politik dan dasar yang lebih jelas." "AirAsia X Menyambung Semula Penerbangan ke Tokyo\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Persatuan Penulis Patani Junjung Bahasa Melayu di Thailand\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPatani \u2013 Selain kata-kata Laksamana Hang Tuah yang kerap didengar, iaitu \u201cTakkan Melayu hilang di dunia\u201c, terdapat satu lagi kata-kata menarik, iaitu \u201cSelagi orang Melayu bercakap bahasa Melayu\u201d. Demikianlah antara ucapan oleh Aj. Hara Shintaro, Pensyarah Bahasa Melayu dari Jepun, dalam forum Bahasa Ibunda Teras Jati Diri Bangsa, anjuran Persatuan Penulis Patani (PPP) buat julung-julung kalinya, bersempena dengan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa semalam.\nTarikh 21 Februari telah ditetapkan dan diluluskan oleh UNESCO sebagai Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa atas dasar keyakinan mereka terhadap kepentingan kepelbagaian bahasa untuk masyarakat yang mampan. Dalam mandatnya, UNESCO berusaha untuk mengekalkan perbezaan budaya dan bahasa yang menggalakkan toleransi antara manusia. Hal ini demikian kerana kepelbagaian bahasa mula terancam dan semakin banyak bahasa yang hilang,\u201d ulas Mahroso Doloh, selaku pengarah program dan moderator program.\nMenurut Pengerusi PPP, Dr. Abdul Rahman Dewani al-Fathoni, sesuatu bangsa yang tidak memiliki kebudayaan bangsanya, maka keberadaan bangsa tersebut akan lenyap di permukaan bumi. Langkah seribu tidak akan tercapai kalau tidak dimulai dengan langkah pertama. Guru-guru di sekolah terutamanya yang membabitkan bahasa memainkan peranan yang penting untuk memberikan keyakinan kepada para pelajar tentang kekuatan diri dan bangsa Melayu Nusantara. Teras dan tugas pembinaan dan pembangunan bangsa harus disebarluaskan dalam masyarakat Patani sejak di bangku sekolah lagi.\nPeribahasa Melayu ada menyebut, \u2018Bahasa jiwa bangsa\u2019, yang dapat ditafsirkan bahawa sesuatu bangsa tidak akan kuat sekiranya bahasanya lemah atau bangsa itu tidak mempunyai bahasanya sendiri sebagai jati diri bangsa. Oleh itu, dalam usaha melahirkan bangsa Melayu Patani yang memiliki identiti kebangsaan, satu cara daripadanya adalah dengan memperkasakan dan melestarikan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian.\n\u201cNamun begitu, fakta yang berlaku dalam masyarakat Melayu Patani pada hari ini amat mengecewakan. Tidak sedikit dalam kalangan masyarakat yang tidak gemar berbahasa Melayu kerana ketidakcekapan mereka sendiri, malah ada juga yang beranggapan bahawa bahasa Melayu bahasa kampung, tidak maju, dan akan berasa malu apabila berbahasa Melayu, khususnya dalam kalangan masyarakat bandar. Andaian ini sudah tentu merupakan tanggapan yang sangat mengelirukan dan perlu diperbetulkan,\u201d jelas Dr. Rahman.\nEkoran daripada hakikat demikian, maka PPP mengambil inisiatif dengan mengadakan forum tersebut bagi memberikan kefahaman kepada masyarakat Melayu Patani agar mengingati keagungan dan kepentingan bahasa Melayu di bumi Patani bagi menentukan identiti negara. Forum yang diadakan secara dalam talian melalui Google Meet itu menampilkan tiga orang pakar bahasa Melayu sebagai ahli panel, iaitu Dr. Abdul Rahman Dewani dari Patani, Aj. Hara Shintaro dari Jepun dan Dr. Heru Kurniawan dari Indonesia.\n\nDr. Rahman mengutarakan ideanya yang berjudul \u201cSejarah dan Kepentingan Bahasa Melayu Jawi untuk Bangsa Melayu Patani\u201d. Beliau menekankan fungsi bahasa sebagai tali komunikasi yang berkesan dan usaha melestarikan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar dengan mengimbau sejarah perkembangan bahasa Melayu Nusantara yang bermula daripada Kongres Bahasa Indonesia yang pertama kali diadakan di kota Solo, Indonesia pada tahun 1938.\nSementara itu, Aj. Hara membicarakan topik, iaitu \u201cBahasa Berwibawa adalah Cerminan Kemajuan Sebuah Bangsa\u201d dengan menyeru agar penggunaan bahasa Melayu diperluaskan dan diperkembangkan dalam kalangan orang Melayu sendiri, baik dari segi pertuturan dalam kehidupan seharian mahupun penulisan dan pelajaran.\nDr. Heru pula mengutarakan topik \u201cSalah Satu Faktor Indonesia Dapat Bersatu Disebabkan Memiliki Kekuatan Bahasa Permersatu\u201d. Beliau berkongsi tiga konsep utama yang berkaitan dengan bahasa. Pertama, melindungi bahasa ibunda. Kedua, mengutamakan bahasa rasmi. Ketiga, menguasai bahasa asing. Beliau turut menyifatkan bahasa ialah jendela kepada ilmu pengetahuan. Katanya, bahasa harus digunakan secara konsisten agar tidak lenyap begitu sahaja.\nSelain itu, program forum tersebut turut diserikan lagi dengan persembahan deklamasi puisi, pantun, seloka, dan lagu puisi. Persembahan seni disampaikan oleh pemuzik Budu Little dan pemuisi tempatan dari Patani. Antaranya termasuklah Zulfikri Ibahim, Mahroso Doloh dan Awwabin Hilmi. Tetamu istimewa yang mewakili Malaysia, iaitu Harlym Yeo, turut memeriahkan program dengan persembahan pantun bahasa dan sajaknya yang bertajuk \u201cSimfoni Cinta\u201d.\nMenurut Timbalan Pengerusi PPP, Dr. Suraiya Chapakiya yang juga merupakan Pensyarah di Jabatan Pendidikan Bahasa Melayu dan Teknologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan/Pusat Kajian Tamadun Melayu Islam, Universiti Fatoni, Pattani, Thailand, forum tersebut turut menyerlahkan orang Melayu Patani supaya seiring dalam memartabatkan bahasa Melayu, meskipun terdapat kekangan cakna bahasa Melayu dalam masyarakat Patani.\n\u201cSaya sangat bersyukur kerana forum ini merupakan langkah pertama dalam PPP untuk membawa aktiviti yang menarik seperti ini, seterusnya menjadikannya aktiviti secara bulanan,\u201d ujar Dr. Suraiya ketika diminta memberikan taklimat penutupan acara tersebut." "Firefly Lancar Penerbangan Terus Pulau Pinang ke Banda Aceh\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Minyak Sawit Diunjurkan Didagang pada RM3800-RM4200 Satu Tan hingga Suku Kedua 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSituasi itu akan memastikan harga minyak sawit kekal tinggi dan bertahan antara RM4000 dengan RM4400 satu tan sehingga Disember 2022. Krisis Rusia dan Ukraine yang berterusan akan tetap menjadi satu faktor dan pertumbuhan bekalan minyak sawit berkemungkinan mendatar tinggi tahun depan bagi jangka sederhana." "Produktiviti Buruh Meningkat pada Suku Ketiga Susulan Kerancakan Aktiviti Ekonomi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nProduktiviti buruh bagi nilai ditambah per pekerja pada suku ini menunjukkan peningkatan dalam semua sektor dengan produktiviti buruh tertinggi dicatatkan oleh sektor pembinaan pada 14.9%. Sektor perkhidmatan turut mencatatkan pertumbuhan dua digit pada 11.4% dengan semua subsektor merekodkan pertumbuhan positif dengan subsektor makanan dan minuman serta penginapan mencatatkan pertumbuhan produktiviti paling tinggi pada 43.7%." "Kadar Inflasi Dijangka 2.3-2.5% pada Tahun 2023 Jika Mekanisme Subsidi Bahan Api Dikekalkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Kerugian Pos Malaysia Semakin Mengecil Hasil Transformasi yang Berkesan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKetua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Charles Bewer menyatakan bahawa pasukan Pos Malaysia telah bekerja keras untuk memastikan kumpulan terus mencatat kemajuan dengan transformasi yang dilaksanakan meskipun berdepan dengan persekitaran makroekonomi yang mencabar di peringkat domestik dan global. Beliau menjangkakan prospek kewangan akan terus mencabar dan dipengaruhi tekanan makroekonomi yang akan terus menekan pasaran e-dagang pasca pandemik sedia ada." "Saham dan Ringgit Malaysia Kembali Positif\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pasaran saham tempatan dan ringgit kembali positif susulan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10. Pelantikan Anwar dilihat tindakan yang tepat kerana beliau bukan sahaja tokoh politik sangat berpengaruh, tetapi juga memiliki kepakaran dalam aspek ekonomi dan penglibatan meluas pada peringkat\u00a0 antarabangsa.\nPrestasi memberangsangkan ini turut disebabkan oleh keyakinan pasaran selepas Bank Pusat Amerika Syarikat (AS),\u00a0 Rizab Persekutuan\u00a0 atau Federal Reserve (Fed) memberikan petujuk untuk mengambil langkah kurang agresif untuk menaikkan kadar faedah.\nBursa Malaysia kembali melepasi paras 1 500 mata hari ini apabila ditutup pada 1 501.88 mata, naik 58.38 mata atau 4.04%. Bursa Malaysia meningkat dalam dagangan awal semalam apabila pelabur mengalu-alukan berita positif daripada mesyuarat Fed pada November 2022. Pegawai bank pusat AS itu bersetuju bahawa kadar kenaikan kadar faedah yang lebih perlahan berkemungkinan adalah lebih wajar." "Seminar Koperasi Malaysia 2022 \u2013 Menjayakan Gerakan Koperasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2013 Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) sedia memberikan kerjasama penuh kepada menteri yang dilantik bagi menjaga hal ehwal koperasi demi memastikan sektor itu terus dipacu kejayaan dalam menangani isu kos sara hidup serta perkara lain yang memberikan impak secara terus kepada masyarakat di negara ini.\nPresiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya akan menyokong apa-apa sahaja yang terbaik dalam menjayakan gerakan koperasi di negara ini. Jelasnya lagi:\n\u201cGerakan 14 975 buah koperasi akan menjadi lebih berfungsi jika kerjasama yang baik terus diadakan.\u201c\n\u201cSetiap produk diperkenalkan oleh koperasi pasti mendapat sambutan pengguna jika pihak kementerian sentiasa memberikan perhatian tanpa mengenal erti jemu dan bosan,\u201c katanya.\nBeliau berkata demikian selepas menerima Anugerah Ikon Pemimpin Koperasi Berwawasan bersempena dengan Majlis Makan Malam dan Anugerah Midlands -ACCUM Ulang Tahun Ke-100 Gerakan Koperasi di Malaysia anjuran Kesatuan Koperasi Midlands Berhad (MIDLANDS) dan Persatuan Kredit Malaysia (ACCUM) dari Kuala Lumpur di Hotel Langkasuka Langkawi, Kedah di sini.\nTerdahulu itu, sebanyak 150 orang peserta dari Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka, Perak dan lain-lain mengikuti Seminar Koperasi Malaysia 2022 yang bertemakan \u201cPembentukan Agenda Baru Gerakan Koperasi Malaysia Kekal ke Hadapan dan Relevan untuk Masa Depan\u201c.\nUrus setia seminar itu, S. Ahlaimuniandy berkata, banyak perkara baharu diperoleh bagi memajukan gerakan koperasi di negara ini.\n\u201cTerima kasih kepada semua pihak kerana memberikan kerjasama terhadap program yang diadakan itu.\u201c\n\u201cMelalui program begini ia berjaya mengeratkan hubungan baik antara pihak pengurusan koperasi di negara ini dengan ANGKASA,\u201c katanya." "BIMP-EAGA Mahu Mengeratkan Perkongsian Ekonomi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "LHDN Santuni Petugas Barisan Hadapan dan Masyarakat Semporna\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSemporna, Sabah \u2013 Menjunjung prinsip kemakmuran negara dinikmati bersama, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) melalui Kor Penyelaras Pasukan Beruniform (KPPU) melaksanakan Program Retreat 2.0 & CSR 3.0 KPPU HASiL Kasih Prihatin untuk menyantuni Pasukan Petugas Barisan Hadapan (ESSCOM dan Pasukan Polis Marin) serta penduduk di sekitar Madrasah Islamiah Kampung Pulau Mabul Semporna, Sabah pada 25 November 2022.\nProgram anjuran KPPU dengan kerjasama Pejabat Pengarah Negeri Sabah (PPNS) dan Cawangan HASiL Tawau membuktikan bahawa peranan dan tanggungjawab Keluarga HASiL tidak hanya terhad kepada mentadbir cukai langsung semata-mata, tetapi turut membantu masyarakat serta pasukan petugas barisan hadapan yang bertanggungjawab menjaga kedaulatan negara.\nProgram ini merupakan kesinambungan daripada Program CSR Hasil Kasih Prihatin yang telah diadakan sebelum ini dan pada kali ini sumbangan\nyang telah disampaikan adalah seperti yang berikut:\nKPPU HASiL juga telah dimaklumkan oleh pegawai bertugas ESSCOM di Pulau Bohey Dulang bahawa HASiL merupakan agensi pertama yang mengadakan CSR seumpama ini. Penyerahan sumbangan\u00a0 disempurnakan oleh YBhg. Datuk Mohd Jaafar bin Embong, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) merangkap Komandan KPPU HASiL kepada YBrs. Ustaz Morshid bin Harun, Mudir Madrasah Islamiah Kampung Pulau Mabul Semporna, Sabah.\nTurut hadir menyaksikan penyerahan di setiap sesi penyampaian CSR ialah Tuan Haji Hisham bin Rusli, Pengarah Jabatan Operasi Cukai merangkap Timbalan Komandan BOMBA HASiL, Tuan Fuad bin Ayob, Pengerusi WATANIAH HASiL, Tuan Haji Nasruddin bin Mat Nasir, Pengerusi BOMBA HASiL, Encik Mohamad Razli Mohamad Ali, Pengarah Cawangan Tawau, Tuan Mohamad Asri bin Mohamad Ali, Pengerusi CDERT HASiL, Tuan Haji Mohd Husni Mohd Noor, Pengerusi Persatuan Kebajikan Islam (PERKIS) Cyberjaya dan Encik Zainal Nazim bin Zainal Abidin Wakil Koperasi HASiL (Kohasil).\nYBhg. Datuk Mohd Jaafar bin Embong dalam ucapan beliau berkata, \u201cHASiL amat komited meneruskan usaha menyantuni rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat melalui pelbagai bantuan melalui inisiatif tanggungjawab korporat sosial di samping membantu meringankan beban golongan masyarakat B40 serta melahirkan warga kerja HASiL yang prihatin. Pada masa yang sama, HASiL sentiasa akan melaksanakan fungsi dan peranannya secara adil, profesional dan berintegriti sekali gus meningkatkan kutipan cukai negara agar hasilnya akan dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia.\u201c\nPelaksanaan serta penganjuran berterusan program seperti ini merupakan tanda sokongan padu HASiL kepada pembangunan modal insan, termasuklah kepada masyarakat luar bandar dan\u00a0 merupakan satu pendekatan strategik HASiL untuk mendekatkan diri kepada masyarakat. Adalah diharapkan agar program CSR seperti ini sedikit sebanyak dapat membantu Pasukan Petugas Barisan Hadapan yang sentiasa komited berkorban menjaga kedaulatan negara selain dapat meringankan beban bagi golongan yang kurang bernasib baik." "Inflasi Malaysia Turun kepada 4.0% pada Oktober 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Martabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ekonomi Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2212 Secara realitinya, apabila negara berkembang pesat, bahasanya juga akan berkembang dengan pesat. Hal ini membuktikan bahawa sesuatu bahasa yang digunakan di sesebuah negara itu berkait rapat dengan kemajuan sesebuah negara di samping mempunyai nilai ekonominya tersendiri.\nMenurut Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul, iaitu Dekan, UKM-Graduate School of Business, Universiti Kebangsaan Malaysia, zaman silam telah membuktikan bahawa bahasa Melayu mencapai tahap kesempurnaan yang amat tinggi dan digunakan dalam pelbagai domain, kehidupan bermasyarakat, pentadbiran negara mahupun urusan ekonomi dan perniagaan. Hal tersebut membuktikan bahawa kegemilangan bahasa Melayu dalam bidang ekonomi dan perniagaan sudah tercatat dalam sejarah sejak dahulu kala.\nKatanya lagi, bahasa Melayu terbukti berjaya menjadi lingua franca sejak zaman-berzaman. Hal ini turut disokong oleh Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka, bahawa bahasa Melayu memiliki martabat yang besar dalam bidang ekonomi dan perniagaan sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Warkah-warkah lama yang bertulisan Jawi membuktikan adanya aktiviti perdagangan di Alam Melayu. Hal ini membuktikan bahawa bahasa Melayu mempunyai nilai ekonomi sejak zaman dahulu lagi.\nDalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi negara, hasil penyelidikan para cendekiawan tidak semestinya ditulis dalam bahasa Inggeris. Mereka seharusnya memperbanyak hasil penulisan dalam bahasa Melayu.\nTambah beliau, antara pelan strategik utama DBP termasuklah untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi dan hal ini patut diketengahkan dan diambil cakna oleh semua golongan masyarakat.\nAntara cabaran yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi negara termasuklah kecenderungan ekonomi negara ke arah perindustrian yang menyebabkan peningkatan kemasukan organisasi multinasional ke Malaysia. Fenomena ini adalah antara faktor yang menenggelamkan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perniagaan kerana digantikan dengan bahasa Inggeris.\nTambahnya lagi, rakyat perlu menguasai bahasa Inggeris tetapi pada masa yang sama mereka perlu mempertahankan dan memartabatkan bahasa Melayu. Keadaan ini akhirnya membawa kepada satu kekeliruan dan keraguan kepada masyarakat. Situasi tersebut semakin memburuk sementelah sektor ekonomi negara kini mula dikuasai oleh orang luar atau bangsa asing. Hal ini menjadikan bahasa Inggeris semakin kuat dan sedikit banyak mempengaruhi kedudukan bahasa Melayu\nSehubungan dengan itu, nilai ekonomi bahasa Melayu boleh dikembalikan dengan adanya usaha yang giat dalam penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat tidak kira di mana-mana sahaja termasuklah di pasar, gedung beli-belah dan hotel. Aktiviti perniagaan runcit dan apa-apa urusan perbankan juga perlu menggunakan bahasa Melayu.\nDemikianlah penerangan menarik daripada Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul, yang juga seorang tokoh ekonomi yang sedang giat mengembangkan bahasa Melayu, selaku ahli panel dalam rancangan \u201cLidah Rakyat: Bahasa Melayu Bahasa Ekonomi\u201d. Manakala Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan pula bertindak selaku moderator menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP yang bersiaran pada pukul 9.00 malam tadi." "BNM Memaklumkan Bahawa Aset Rizab Rasmi Malaysia Berjumlah USD105.23 Bilion pada Akhir Oktober\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Gaji Eksekutif dan Bukan Eksekutif Dijangka Naik 5.4% pada Tahun 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Potensi Industri Kendereaan Rekreasi di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Kadar Dividen TH Diunjurkan 2.75% Hingga 3.10% pada Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "MITI Menggariskan Tiga Keutamaan Utama bagi Menghadapi Kelembapan Ekonomi Global 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "LGM Memaklumkan bahawa Insentif Pengeluaran Getah Pekebun Kecil Diaktifkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "BNM Mengambil Langkah untuk Menstabilkan Kadar Antara Bank bagi Jangka Pendek\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Pesta Buku Antarabangsa Selangor Mendapat Sambutan yang Menggalakkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Pesta Buku Antarabangsa Selangor mendapat sambutan yang menggalakkan daripada segenap lapisan masyarakat. Pesta buku ini disertai oleh pelbagai pempamer yang terdiri daripada penerbit buku dan penulis buku dari dalam dan luar negara, penerbit mandiri, \u00a0agensi kerajaan, anak syarikat negeri, sekolah tadika, Early Intervention Program dan lain-lain pempamer. Pesta Buku Antarabangsa Selangor kali ini menghimpunkan lebih 200 pempamer dan lebih 300 reruai.\nPesta buku ini telah dilihat menjadi salah satu titik untuk memulihkan semula industri perbukuan negara yang terkesan dengan pandemik COVID-19. Pesta buku itu dianjurkan oleh \u00a0kerajaan negeri Selangor manakala\u00a0Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor bertindak selaku urusetia program. Urusetia\u00a0Pesta Buku Antarabangsa Selangor, Puan Norelmin Sapuan menyatakan bahawa Pesta Buku Antarabangsa Selangor telah merekodkan seramai 150 ribu pengunjung.\nTambah beliau, pesta buku kali ini juga disertai oleh penerbit dari China, Singapura dan Indonesia. Selain itu, felo dari negara North Macedonia, Mesir, United Kingdom, Korea Selatan, Turkiye dan Indonesia menawarkan peluang kepada penerbit tempatan untuk bekerjasama dengan mereka untuk menembusi pasaran antarabangsa. Beliau menambah sambutan pada tahun ini lebih baik dari tahun lepas. Selain itu, pesta buku itu juga menyediakan kemudahan kawasan dan program khusus kepada ibu bapa dan kanak-kanak dan disusun dengan pelbagai pengisian yang bermanfaat.\nPempamer juga meluahkan perasaan yang gembira tentang hasil jualan yang memberangsangkan. Salah seorang pengunjung, Muhammad Irfan Jalil yang juga merupakan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), meluahkan keterujaannya kerana dapat membeli bahan bacaan yang berkualiti. Tambahnya lagi, penganjuran pesta buku seperti ini perlu kerap diadakan untuk memudahkan masyarakat bagi membeli bahan bacaan.\nSelain itu, pengajuran pesta buku seperti ini juga boleh minat membaca dalam kalangan masyarakat. Pesta Buku Antarabangsa Selangor bermula dari 1 Disember sehingga 11 Disember 2022." "Malaysia Berjaya Menarik Pelaburan Sebanyak RM193.7 Bilion\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "HASiL Maklumkan Tarikh Akhir Penerimaan Bayaran Cukai Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebagai usaha meningkatkan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) sedang dalam proses menaik taraf sistem dalaman yang dijangka selesai sepenuhnya pada 1 Januari 2023. Bagi kelancaran proses ini beberapa saluran bayaran akan ditutup untuk sementara waktu, justeru tarikh akhir penerimaan bayaran cukai bagi saluran bayaran yang terlibat dengan penutupan tersebut adalah seperti yang berikut:\n(i) Bayaran di kaunter pusat bayaran HASiL (Semenanjung/Sabah/Sarawak) 30 Disember 2022 (Jumaat) (mengikut masa operasi kaunter semasa)\n(ii) Terminal kad kredit/Debit di kaunter pusat bayaran HASiL\u00c2\u00a0 (Semenanjung/Sabah/Sarawak) 30 Disember 2022 (Jumaat) (mengikut masa operasi kaunter semasa)\n(iii) Bayaran melalui FPX-ByrHASiL 28 Disember 2022 (Rabu). Ditutup bermula 29 Disember 2022, pada pukul 12.01 tengah hari.\n(iv) Sistem e-TT. Ditutup bermula 29 Disember 2022, pada pukul 12.01 tengah hari.\n(v) Bayaran di bank komersial yang dilantik oleh HASiL. Tidak terlibat dan akan beroperasi seperti biasa.\n(vi) Bayaran di kaunter Pos Malaysia. Tidak terlibat dan akan beroperasi seperti biasa.\nPerkhidmatan FPX-ByrHASiL yang ditutup sementara akan mula dibuka semula pada 1 Januari 2023, manakala bayaran menggunakan Nombor VA melalui janaan di Sistem e-TT hanya boleh dibuat bermula 3 Januari 2023 pada pukul 8.00 pagi.\nUntuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan bayaran yang disediakan,\npembayar cukai boleh merujuk portal rasmi HASiL menerusi:\n(i) Perkhidmatan > individu > kitaran cukai individu > bayaran atau;\n(ii) Perkhidmatan > syarikat > pembayaran cukai syarikat > kaedah pembayaran.\nSebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan melalui:\n(i) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);\n(ii) HASiL Live Chat;\n(iii) Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas." "Frasa Nama: \u201cMutiara Kata\u201d atau \u201cKata Mutiara\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nFrasa yang manakah yang betul antara mutiara kata dengan kata mutiara?\nDaripada:\nTS Zhou,\nPulau Pinang." "Industri Agropelancongan Perlis Mempunyai Potensi Besar untuk Menarik Pelancong\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPadang Besar \u2013 Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM), Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Superfruits Valley di Chuping. Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Robin Lim yang merupakan Pengarah Urusan Syarikat Fig Direct yang mengusahakan ladang tersebut.\nAntara tanaman utama yang ditanam di sekitar ladang berkeluasan 50 hektar itu ialah buah tin, buah gac, lemon dan markisa. Ladang itu juga menjadi salah satu destinasi agropelancongan yang menarik untuk dikunjungi oleh pelancong.\nSempena keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja, Robin telah memberikan taklimat tentang produk dan inisiatif yang dilakukan oleh syarikatnya bagi memajukan industri pertanian dan agropelancongan di Perlis." "Kebimbangan Permintaan Cetus Kemerosotan Harga Minyak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Johor Menjadi Destinasi Utama Pelabur\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Malaysia Merekodkan Peningkatan Perdagangan 15.6% pada November 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMITI menambah bahawa nilai eksport telah meningkat sebanyak 15.6% kepada RM130.24 bilion manakala import dan lebihan dagangan juga meningkat sebanyak 15.6% masing-masing kepada RM107.93 bilion dan RM22.3 bilion. Selain itu, eksport ke rakan dagang utama khususnya ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun juga merekodkan pertumbuhan dua digit. Lebihan dagangan telah meningkat sebanyak 23.5% manakala perdagangan, eksport dan import masing-masing berkurangan sebanyak 2.8%, 1% dan 4.9% berbanding Oktober 2022.\nMITI juga memaklumkan bahawa tempoh Januari hingga November 2022 telah menyaksikan perdagangan berkembang sebanyak 29.9% kepada RM2.613 trilion berbanding tempoh sama tahun lepas. Nilai eksport turut meningkat 27.2% kepada RM1.42 trilion dan nilai import naik 33.3% kepada RM1.193 trilion manakala lebihan dagangan pula menokok 2.6% kepada RM227.89 bilion. Perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan juga telah mencatat nilai tertinggi bagi tempoh ini." "HASiL Teruskan Misi Bantuan Banjir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuantan \u2013 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) melalui Skuad Sukarelawan Banjir HASiL Peringkat Negeri Pahang meneruskan kesinambungan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan menyantuni kakitangan HASiL Cawangan Kuantan yang terkesan dengan bencana banjir yang melanda baru-baru ini.\nSebanyak 19 orang pegawai dan staf daripada Skuad Sukarelawan Banjir HASiL terlibat dengan memfokuskan Misi Bantuan (Pembersihan) secara gotong-royong melibatkan rumah Encik Wan Muhammad Azizi bin Wan Yahya dan Puan Rohayu binti Abdullah di Kampung Alor Ladang, Beserah, Kuantan. Selain aktiviti pembersihan yang dijalankan pada 20 Disember 2022 itu, kakitangan HASiL yang terjejas banjir, turut menerima sumbangan bakul makanan daripada HASiL bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka.\nSkuad Sukarelawan Banjir HASiL diwujudkan untuk menghulurkan bantuan yang diperlukan oleh mangsa banjir, khususnya dalam kalangan kakitangan HASiL di seluruh negara. Usaha ini bukan sahaja bertujuan menampilkan HASiL sebagai sebuah organisasi yang prihatin, malah usaha ini juga bagi memastikan hubungan kakitangan HASiL sentiasa erat." "Keterjaminan Kewangan pada Usia Tua\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIsu keterjaminan kewangan seharusnya diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan, terutamanya dalam keadaan negara yang kini berstatus negara menua. Keterjaminan kewangan merujuk kecukupan wang bagi menampung perbelanjaan harian dengan selesa serta bebas daripada masalah kewangan. Antara lain, keterjaminan kewangan membawa maksud kemampuan individu untuk mengawal situasi kewangan tanpa tekanan.\nKebanyakan kita pastinya terfikir untuk bersandar pada bantuan dan jagaan anak-anak dalam meniti usia emas. Benar, memang budaya Asia, lazimnya menitikberatkan ikatan dan tanggungjawab anak-anak kepada ibu bapa. Walau bagaimanapun, hal ini seharusnya tidak dijadikan sebab kita harus mengabaikan perancangan awal sejak muda agar dapat mentadbir urus kewangan sendiri pada usia tua nanti.\nGolongan yang mempunyai simpanan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu diingatkan agar bijak menangani pengurusan kewangan apabila bersara. Acap kali ditemukan, banyak orang yang gagal menguruskan kewangan dengan baik. Wang simpanan yang boleh dikeluarkan sekali gus pada umur persaraan 60 tahun itu dirasakan sangat besar, menyebabkan banyak perbelanjaan yang tidak perlu akhirnya dibuat tanpa menyedari impaknya terhadap kelangsungan hidup untuk 20 tahun yang akan datang. Tanpa disiplin yang tinggi, wang simpanan persaraan tersebut akan lupus dalam masa yang singkat dan mengakibatkan ketidakcukupan wang apabila bersara.\nKita kerap kali melihat wang simpanan persaraan digunakan untuk pengubahsuaian rumah secara berlebihan, pembelian kereta baharu sama ada untuk diri sendiri mahupun untuk penggunaan anak-anak, dan banyak lagi big ticket items yang lebih merupakan kehendak dan vukannya keperluan. Kita bukannya menidakkan fakta bahawa diri sendiri perlu diberi ganjaran setelah bertahun-tahun penat bekerja. Walau bagaimanapun, setiap keputusan perbelanjaan itu harus dinilai mengikut kemampuan. Seperti pepatah, \u201cUkur baju di badan sendiri\u201d. Tambahan pula, beberapa siri pengeluaran KWSP yang dibenarkan sepanjang tempoh pandemik COVID-19 juga mencatatkan pengurangan dana simpanan para pencarum secara signifikan.\nRisiko perbelanjaan wang simpanan persaraan secara kurang berhemat perlu diberi perhatian serta dicari jalan penyelesaiannya. Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan adalah dengan mewujudkan pelan insurans sosial untuk warga Malaysia yang pesara akan mendapat anuiti secara bulanan. Hal ini dilihat dapat menjamin kesejahteraan masyarakat dengan adanya keterjaminan kewangan selepas persaraan.\nCadangan skim anuiti ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu. Skim anuiti dilancarkan oleh KWSP pada tahun 2000. Namun, kemudiannya skim tersebut digantung ekoran bantahan daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC). Hingga kini, skim tersebut tidak diteruskan. Walau bagaimanapun, dengan mengambil kira konteks keterjaminan kewangan masyarakat pada hari ini, adalah wajar bagi kerajaan serta pihak berkuasa untuk mempertimbangkan semula skim anuiti menerusi pelan insurans sosial agar dapat dilaksanakan di Malaysia.\nKerajaan perlu membuat penelitian yang lebih halus bagi menyediakan kerangka operasi pelan tersebut. Tanggungjawab tersebut tidak semestinya digalas oleh KWSP seperti mana rancangan asal lebih dua dekad yang lalu. Malah, PERKESO juga dilihat berpotensi untuk menggalas tanggungjawab tersebut atas dasar konsep servis yang sama, iaitu perlindungan insurans sosial kepada pekerja.\nMasyarakat harus lebih terbuka dan positif dengan inisiatif pelan insurans sosial ini demi kemaslahatan semua. Tambahan pula, dengan perubahan sosial dan demografi negara, golongan ibu bapa tidak boleh lagi hanya mengharapkan anak-anak untuk menjaga keperluan kewangan mereka pada masa tua. Jika ada bantuan daripada anak-anak, anggaplah hal ini bonus!\nPerancangan kendiri mungkin hanya berkesan kepada segelintir masyarakat yang mahir dalam mencatur aktiviti pelaburan mereka. Namun, masyarakat secara amnya masih memerlukan sokongan institusi bagi menjayakan misi ini. Dalam hal ini, kerajaan baharu Malaysia diharapkan dapat memberi perhatian yang serius terhadap isu ini. Di samping itu, kerajaan Malaysia \u00a0harus mempertimbangkan cadangan pelaksanaan pelan insurans sosial di negara ini demi keterjaminan kewangan masyarakat pada masa depan.\nDr. Nurul Afidah Mohamad Yusof ialah Penolong Profesor di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Kewangan,Universiti Tunku Abdul Rahman." "Prospek Kerjasama Ekonomi Baharu antara Malaysia dengan Singapura\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSingapura \u2013\u00a0 Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Dato\u2019 Dr. Azfar Mohamad Mustafar menyembah maklum kepada Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail tentang prospek kerjasama baharu ekonomi digital, ekonomi hijau dan e-dagang\u00a0 antara Malaysia dengan Singapura. Tiga bidang awal yang dikenal pasti ialah kemudahan jualan eksport e-dagang oleh PKS tempatan ke\u00a0 Singapura; kerjasama antara Malaysia Digital Hub (MDH) MDEC dengan BLOCK 71 Singapura dalam ekosistem permulaan (startup) dan e-dompet.\nBidang kerjasama lain yang sedang dibincangkan ialah industri 4.0, pembuatan termaju, sektor perkhidmatan, e-dagang, industri aeroangkasa dan eko-pelancongan. Beliau telah menyembah maklum kepada DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sewaktu baginda mahu berangkat ke Doha di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura. Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat bersama-sama baginda.\nSempena pertemuan tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah berkenan menyerahkan sumbangan Tabung Ibnu Sabil MAIPs sebanyak RM5000 kepada Dato\u2019 Dr. Azfar yang menerima bagi pihak Pejabat Pesuruhjaya Tinggi berkenaan. Sumbangan itu adalah untuk digunakan bagi membantu rakyat Malaysia yang berdepan dengan situasi kecemasan, terputus bekalan sara diri atau terkandas untuk kembali ke tempat asal atau meneruskan perjalanan.\nTambah Dato\u2019 Dr. Azfar lagi, Malaysia terus kekal sebagai rakan dagangan ke-2 terbesar Singapura selepas China, dengan jumlah dagangan sebanyak RM426.6 bilion, iaitu meningkat sebanyak 23.8% untuk tempoh yang sama pada tahun 2021. Pelabur dari Singapura juga terus memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara." "Rize Bank Digital Pertama di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Al Rajhi Bank Malaysia (ARBM) telah melancarkan bank digital pertama di Malaysia. Nama bank itu ialah Rize. Bank itu telah dilengkapi dengan teknologi terkini untuk memberikan pengalaman perbankan yang terbaik kepada pelanggan.\nKetua pegawai eksekutif ARBM, Arsalaan Ahmed menyatakan bahawa Rize merupakan bank digital yang berusaha untuk memberikan inspirasi dan memperkasakan pelanggan mereka yang dikenali sebagai Rizers. Beliau menambah bahawa apabila masyarakat menjadi Rizers, mereka akan mendapat akses pengalaman perbankan yang berteknologi tinggi dan terkini. Beliau turut menyatakan bahawa semua keperluan perkhidmatan perbankan Rizers akan tersedia di telefon pintar mereka tanpa perlu pergi ke cawangan fizikal. Selain itu, Rize juga menawarkan pilihan pembiayaan peribadi yang mesra pelanggan.\nRize juga menawarkan produk simpanan yang dikenali sebagai Rize Savings Pot dan merupakan satu-satunya simpanan Malaysia dengan kadar keuntungan yang membolehkan pelanggan memperoleh pendapatan sambil menyimpan." "Projek Bekalan Kuasa Pintar Cyberjaya: Selangor Bakal Menjadi Negeri Pintar Tahun 2025\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Menteri Besar Selangor, Dato\u2019 Seri Amirudin Shari menyatakan bahawa pembangunan projek bekalan kuasa dan inisiatif tenaga boleh diperbaharui di Cyberjaya selari dengan cita-cita Selangor yang mahu menjadi negeri pintar menjelang tahun 2025.\nBeliau turut menambah pembangunan itu menjadi nadi kepada usaha pendigitalan Selangor sebagai pusat pengkalan data. Beliau menjelaskan bahawa tujuan akhir projek itu bukan hanya menghantar tenaga ke Cyberjaya tetapi juga akan memanfaatkan aliran tenaga yang stabil kepada pusat data yang bakal dibina. Beliau juga menambah Cyberjaya boleh menjadi salah satu daripada pusat data yang akan menjadi nadi utama bagi mencapai matlamat digitalisasi di Selangor.\n\u00a0\nBeliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Worldwide Holdings Berhad dengan Dynac Sdn Bhd. Projek itu dijangka bermula pada pertengahan tahun depan dan siap menjelang akhir tahun 2024." "HASiL Jelaskan Isu Penamatan Pegawai Kontrak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013 Isu penamatan pekerja akan terjadi berikutan pelaksanaan penstrukturan semula sesebuah syarikat ataupun organisasi bertujuan bagi menambah baik mutu perkhidmatannya. Sehubungan dengan itu, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin menarik perhatian masyarakat berkenaan dengan isu penamatan pegawai kontrak agensi ini yang tular di beberapa saluran media sejak kebelakangan ini. Secara dasarnya, HASiL menggajikan pegawai kontrak bagi tujuan pelaksanaan tugasan atau fungsi yang perlu diselesaikan dalam suatu tempoh yang spesifik, iaitu berasaskan projek atau project based.\nSelaras dengan perkembangan dan pembangunan prasarana teknologi maklumat di HASiL, proses kerja telah melalui pelbagai fasa digitalisasi yang pesat, sekali gus mengubah tatacara kerja di HASiL. Transformasi pendigitalan ini membolehkan kebanyakan tugasan dan fungsi kerja di HASiL diautomasikan dan seterusnya meningkatkan kos kecekapan dalam mentadbir sistem percukaian negara. Oleh itu, pihak HASiL telah memperkemas struktur organisasinya yang \u00a0turut melibatkan penstrukturan sumber manusia. Pelaksanaan ini turut melibatkan isu mengkaji semula keperluan untuk menggaji pegawai kontrak bulanan dan harian di HASiL. Proses automasi yang dilaksanakan oleh HASiL membolehkan tugasan yang selama ini dilaksanakan oleh pegawai kontrak dapat diagihkan kepada pegawai tetap sedia ada dan dapat dimanfaatkan secara optimum.\nSehubungan dengan itu, keputusan untuk tidak meneruskan amalan menggaji pegawai kontrak bulanan dan harian telah dibuat pada tahun 2018 dan diputuskan untuk dilaksanakan secara sepenuhnya bermula pada 1 Januari 2023. Penamatan ini akan melibatkan sebanyak 42 orang pegawai kontrak bulanan dan 998 orang pegawai kontrak harian. Namun demikian, pemakluman berkenaan dengan keputusan untuk tidak mengambil pegawai kontrak ini telah pun dijelaskan seawal permulaan tahun 2022 kepada para pegawai yang terlibat bertujuan memberikan ruang dan masa kepada pegawai yang terkesan untuk mengatur perjalanan kerjaya mereka selain mencari peluang pekerjaan di pasaran terbuka.\nHASiL amat cakna dan prihatin akan situasi yang dialami oleh pegawai kontrak yang telah menabur bakti di agensi ini. HASiL telah mengambil inisiatif membantu pegawai yang terkesan untuk mendapatkan pekerjaan melalui penganjuran program bersama dengan syarikat-syarikat ejen cukai untuk memperkenalkan para pegawai kontrak ini dan membuat pengesyoran bagi tujuan pengambilan kepada pihak tersebut.\u00a0Selain itu, HASiL terlibat dalam penganjuran program MYFutureJobs yang dilaksanakan oleh PERKESO kepada pegawai kontrak yang sedang berkhidmat di HASiL. Program ini merupakan salah satu kaedah pencarian kerja dalam kalangan pegawai kontrak yang bakal menamatkan perkhidmatan dengan HASiL pada 31 Disember 2022. Pihak PERKESO telah hadir memberikan penerangan lanjut berhubung dengan program ini dan seterusnya membantu pegawai untuk mendaftar dalam sistem pencarian kerja tersebut. Hasilnya, dalam tahun 2022, sebanyak 59 orang pegawai kontrak telah berjaya mendapat pekerjaan lain dan telah menamatkan kontrak mereka dengan HASiL.\nMenyentuh aspek pengurusan kerjaya HASiL secara dalaman pula, penawaran lantikan ke jawatan tetap ke peringkat lebih tinggi, iaitu ke peringkat eksekutif turut diberikan kepada pegawai-pegawai kontrak berdasarkan merit kelayakan dan kesesuaian jawatan. Walau bagaimanapun, lantikan ke jawatan tetap secara menyeluruh kepada semua pegawai kontrak tidak dapat dilaksanakan bagi memastikan keseimbangan peluang antara calon kategori lain yang berkelayakan seperti calon dalam kalangan pegawai tetap sedia ada dan calon daripada luar HASiL. Untuk rekod, sebanyak 653 orang pegawai kontrak telah dilantik ke jawatan tetap bagi tempoh mulai tahun 2017 hingga 2022. Oleh itu, tindakan HASiL untuk tidak meneruskan perkhidmatan pegawai kontrak ini tidak didorong oleh kepentingan peribadi mana-mana pihak tetapi bertunjangkan kepada hasrat meningkatkan kecekapan operasi agensi ini selain memastikan sumber kewangan negara digunakan secara optimum bagi mengelakkan sebarang pembaziran.\nHASiL juga ingin menyatakan bahawa hasil kutipan cukai langsung negara yang ditadbir oleh HASiL tidak boleh digunakan semata-mata bagi tujuan penyambungan kontrak para pegawai ini seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Sekiranya cadangan ini diambil kira serta dilaksanakan, perkara tersebut bakal mengundang perspektif negatif pihak lain. Sebaliknya hasil kutipan langsung cukai negara perlu diagihkan sama rata demi kemakmuran serta kesejahteraan negara. Oleh itu, pihak HASil berharap agar penjelasan ini dapat memperbetul kekeliruan dan salah tafsir semua pihak mengenai tindakan HASiL berkenaan dengan isu penamatan pegawai kontrak ini. Selain itu, HASiL amat terbuka untuk menerima sebarang kritikan dan juga cadangan membina daripada masyarakat demi memastikan perkhidmatan percukaian yang diberikan secara profesional seterusnya dapat meningkatkan kadar pematuhan cukai di Malaysia.\nSebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan dengan perkara ini, boleh dimajukan kepada kami melalui:\n(a) \u00a0Hasil Care Line di talian 03-8911 1000/603-8911 1100 (luar negara);\n(b) \u00a0HASiL Live Chat; dan\n(c) \u00a0Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/." "Banyak Lagi Motivasi Lain yang Lebih Wajar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR: Ekoran keputusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengecualikan kelulusan kepujian mata pelajaran Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi permohonan jawatan konstabel Gred YA1 lelaki dan perempuan menerusi Pengambilan Khas Bukan Bumiputera mulai 18 Mac 2021 dalam sidang medianya baru-baru ini telah mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat. Banyak pihak yang terkejut dengan keputusan yang diambil oleh PDRM itu, terutamanya dalam kalangan pencinta dan pendukung bahasa negara ini.\nMenurut Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), tindakan mengecualikan kelulusan kepujian bagi mata pelajaran Bahasa Melayu itu bukan keputusan yang betul. Kelonggaran syarat seperti itu adalah antara punca Dasar Bahasa Kebangsaan tidak mantap, walaupun sudah lebih 60 tahun negara merdeka. Tambah beliau lagi, terdapat motivasi lain yang lebih wajar dan munasabah untuk membuka peluang kepada kaum bukan bumiputera itu.\nMenerusi kenyataannya di Facebook, beliau juga menegaskan bahawa setiap warganegara patut bersedia untuk berkhidmat menjaga keamanan dan keselamatan negara tanpa syarat.\u00a0Syarat untuk menjadi warganegara yang baik ialah kesediaan berkhidmat kepada negara. Demikian maklum balas beliau susulan laporan media yang mengatakan bahawa mana-mana individu bukan Bumiputera yang tidak memperoleh kredit dalam mata pelajaran Bahasa Melayu boleh memohon jawatan Konstabel PDRM.\nTerdahulu, Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din, mengatakan bahawa kelonggaran syarat itu diberikan bagi permohonan jawatan konstabel Gred YA1 lelaki dan perempuan menerusi Pengambilan Khas Bukan Bumiputera mulai 18 Mac 2021. Walau bagaimanapun, mereka yang terpilih ke dalam jawatan itu perlu menduduki semula subjek Bahasa Melayu pada peringkat SPM dalam tempoh enam tahun mereka berkhidmat dan perlu lulus subjek itu dengan kepujian." "Apitan Memper-.-kan dan Memper-.-i\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Peribahasa Melayu Tidak Lapuk Dek Zaman\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Perkataan yang digunakan dalam peribahasa tidak menggambarkan maknanya secara langsung sebaliknya tersembunyi makna yang tersirat. Terdapat banyak pengajaran dan nasihat yang boleh diambil daripada peribahasa. Peribahasa Melayu yang dipelajari pada hari ini tiada penulis asalnya tetapi boleh digunakan secara meluas. Setiap peribahasa sebenarnya memerlukan pembacanya berfikir secara kritis terhadap makna yang terkandung di sebalik setiap perkataan yang ada di dalamnya. Demikian antara kupasan menarik oleh Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin, Felo Tamu, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia.\nDalam perkongsian ilmu itu, beliau turut mengemukakan beberapa fakta berkaitan dengan peribahasa Melayu. Antaranya termasuklah peribahasa Melayu yang masih dikaji oleh sarjana tempatan dan Barat pada tahun 2009 walaupun kini kurang dihayati dan dianggap sebagai tidak relevan oleh generasi muda negara ini.\nTambah beliau, terselit unsur kebijaksanaan dalam peribahasa Melayu. Walau bagaimanapun, peribahasa Melayu juga kerap diabaikan masyarakat pada zaman ini kerana kebanyakan masyarakat tidak memahami falsafah di sebalik peribahasa.\nTerdapat beberapa peringkat bagi mencungkil kebijaksanaan dalam peribahasa Melayu, iaitu bermula dengan teori yang melatarinya, memetakan makna abstrak dengan makna konkrit dan akhir sekali, setiap objek yang dipilih dalam sesebuah peribahasa mempunyai falsafahnya yang tersendiri.\nKatanya lagi, proses memahami peribahasa Melayu tidak mudah kerana makna abstrak di sebaliknya sukar difahami oleh masyarakat walaupun makna konkrit bagi setiap objek mudah difahami. Contohnya, mentimun dan durian. Makna konkrit yang berkaitan dengan objek (timun) tersebut lemah kerana mudah pecah manakala durian pula kuat dari segi bau, rasa dan fizikalnya. Bagi makna abstrak pula, lemah melawan kuat yang boleh membawa maksud senang ditindas. Peribahasa juga sebenarnya boleh menjadi multidisiplin dan mempunyai hubungan dengan kehidupan seharian.\nBeliau turut menyatakan bahawa peribahasa relevan dalam bidang sastera dan linguistik. Dalam bidang linguistik, peribahasa dikaji daripada makna dan kemudiannya diteliti falsafah di sebaliknya.\nDemikianlah perkongsian ilmu yang menarik yang bertajuk \u201cKearifan dalam Peribahasa Melayu\u201d yang juga menampilkan Dr. Hasrina Baharum, iaitu Timbalan Pengarah Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, selaku moderator dalam rancangan \u201cYang Lama Dijunjung \u2013 Kuliah Penyelidikan Sastera (KUPAS)\u201d yang berlangsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka pada pukul 11.00 pagi tadi." "HASiL Maklumkan Tambahan Syarat Kelayakan Pengecualian Cukai Pendapatan Dividen Luar Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin memaklumkan bahawa terdapat tambahan syarat kelayakan pengecualian cukai bagi pembayar cukai yang layak dan mempunyai pendapatan dividen luar negara yang diterima di Malaysia dari 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026, iaitu pendapatan dividen luar negara tersebut hendaklah mematuhi syarat substantif ekonomi. Hal ini bagi memenuhi piawaian terkini pencukaian antarabangsa yang menetapkan sedemikian dan bermakna pembayar cukai perlu mematuhi syarat tambahan dengan membuktikan wujudnya hubungan yang jelas antara pendapatan dividen luar negara yang diterima dengan aktiviti sebenar di Malaysia.\nTambahan syarat yang ditetapkan ini juga menggambarkan komitmen Malaysia dalam mematuhi piawaian pencukaian antarabangsa bagi mengelakkan pelarian cukai serta double non-taxation selaras dengan syarat yang ditetapkan oleh Kesatuan Eropah. Sehubungan dengan itu, pendapatan dividen luar negara yang diterima di Malaysia yang dikecualikan cukai dari 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026 adalah seperti yang berikut:\nKategori Pembayar Cukai\nSyarat Kelayakan\n(i) Dividen telah tertakluk kepada cukai di negara asal.\n(ii) \u00a0Kadar cukai tertinggi (headline tax) di negara asal sekurang-kurangnya 15%.\n(iii) \u00a0Mematuhi syarat substantif ekonomi.\nTambahan syarat kelayakan, iaitu syarat substantif ekonomi adalah seperti yang berikut:\n(a) Syarikat pemastautin, PLT pemastautin atau individu pemastautin berhubung dengan perniagaan perkongsian di Malaysia dianggap mempunyai subtantif ekonomi sekiranya:\n(i) Menggaji bilangan pekerja yang mencukupi dengan kelayakan yang diperlukan untuk menjalankan aktiviti ekonomi tertentu di Malaysia; dan\n(ii) Melakukan perbelanjaan operasi yang mencukupi untuk menjalankan aktiviti ekonomi tertentu di Malaysia.\nSelaras dengan tambahan syarat ini, pindaan kepada Garis Panduan Layanan Cukai Berhubung Pendapatan yang Diterima dari Luar Negara telah dimuat naik ke portal rasmi HASiL pada 29 Disember 2022 dan garis panduan bertarikh 29 September 2022 \u00a0dibatalkan. Yang berikut ialah pautan capaian pantas garis panduan yang terkini tersebut untuk rujukan pembayar cukai, iaitu:\n(a) Versi bahasa melayu: https://www.hasil.gov.my/media/gggaite3/20221229-garis- panduan-layanan-cukai-berhubung-pendapatan-yang-diterima-dari-luar-negara- pindaan.pdf \u00a0\n(b) Versi bahasa Inggeris: https://www.hasil.gov.my/media/p0lntthw/20221229- guidelines-tax-treatment-in-relation-to-income-received-from-abroad- amendment.pdf\nOleh itu,\u00a0pembayar cukai perlu mengemukakan pindaan BNCP sekiranya tambahan syarat kelayakan substantif ekonomi tidak dipatuhi dan tiada penalti akan dikenakan bagi\u00a0Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) yang dikemukakan sebelum atau pada 29 Disember 2022.\u00a0Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan dengan perkara ini boleh dikemukakan kepada HASiL melalui:\n(a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);\n(b) HASiL Live Chat; dan\n(c) Borang maklum balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantashttps://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/" "Program bimbingan INSKEN Berjaya Meningkatkan Hasil Jualan Usahawan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Seramai 180 usahawan berjaya bergradausi dalam Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN setelah selesai mengikuti tujuh program bimbingan INSKEN. Tiga daripada progam itu hasil kerjasama dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Majlis itu telah dirasmikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick. Beliau menyatakan bahawa kementerian terus membawa agenda untuk memperkasakan usahawan di seluruh Malaysia khususnya di Sabah dan Sarawak.\nBeliau turut mengulas program tersebut telah berjaya membantu sembilan usahawan bertukar status daripada kategori mikro kepada kategori perusahaan kecil. Pecahan peningkatan hasil jualan itu dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu, RM3.3 juta daripada 51 peserta Program IBBC, RM49 000 daripada 30 peserta Program Bimbingan Pembangunan Produk dan RM476 000 adalah daripada 60 usahawan yang menyertai Program Bimbingan Keuntungan Menu.\nKetua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin pula menyatakan bahawa pencapaian cemerlang telah memberikan semangat kepada INSKEN semakin untuk melaksanakan lebih banyak lagi program bimbingan pada tahun 2023. Beliau menambah program yang dimulakan pada tahun 2017 ini telah berjaya menghasilkan usahawan baharu. Tambah beliau, prestasi program itu dalam tahun 2022 sangat baik kerana berjaya mencipta 100 peluang pekerjaan baharu, 37 perniagaan bertukar status daripada kategori mikro kepada perusahaan kecil dan mencatatkan lonjakan hasil jualan sebanyak RM8.7 juta. Pencapaian keseluruhan tahun ini direkodkan melalui pelaksanaan 38 program bimbingan yang telah tamat dan terdiri daripada 1395 usahawan.\nSelain peserta program IBBC, Program Bimbingan Pembangunan Produk dan Program Bimbingan Keuntungan Menu, terdapat satu lagi kumpulan usahawan permulaan yang turut bergraduasi iaitu Program INSKEN Start-Up Coaching. Pencapaian program itu pula diukur melalui peningkatan skor diagnostik dan pendaftaran perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) secara sah. Secara keseluruhan, 30% purata skor diagnostik dapat ditingkatkan dan 100% usahawan telah berjaya mendaftar syarikat dengan SSM. Seramai 39 usahawan yang menyertai Program INSKEN Start-Up Coaching ini terbahagi kepada dua industri iaitu 20 usahawan daripada Postnatal Care dan 19 usahawan daripada kafe dan restoran." "Raja Muda Perlis Berkunjung ke DDEC demi Pemartabatan Pembangunan Usahawan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mencemar duli mengunjungi Malaysia Design Development Centre (DDEC) yang beroperasi di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur pada petang 1 Januari 2023.\nKetibaan baginda ke DDEC yang merupakan sebuah pusat sehenti reka bentuk pilihan usahawan Malaysia di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang ditubuhkan pada tahun 2007 itu disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif DDEC, Aizuddin Mohd.\nTurut hadir bersama-sama mengiringi baginda berkunjung di DDEC bersempena program Kayuhan Diraja anjuran MARA di sekitar bandar raya Kuala Lumpur yang melibatkan 50 orang peserta dengan jarak 15 kilometer ialah Ketua Pengarah MARA, Datuk Seri Azhar Abdul Manaf dan Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Datuk Zulfikri Osman.\nAntara lokasi lain di sekitar bandar raya Kuala Lumpur yang turut dikunjungi oleh baginda pada sepanjang program Kayuhan Diraja yang bermula di pekarangan Ibu Pejabat Bangunan MARA dan berakhir di Hotel Primiera, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur termasuklah Pintasan Saloma.\nBagi menyahut keperluan usahawan Malaysia, DDEC menawarkan pelbagai perkhidmatan pembangunan usahawan merangkumi pelbagai aspek latihan dan asas penjenamaan, program kolaborasi serta manfaat reka bentuk menerusi dana usahawan.\nDi samping itu, DDEC telah membantu lebih 36 000 usahawan Malaysia dalam memperkasakan imej syarikat serta produk dan perkhidmatan yang ditawarkan menerusi pelbagai solusi kreatif hingga kini.\nDengan 14 tahun pengalaman dalam industri serta mempunyai barisan pereka yang berpengalaman dalam pelbagai bidang, DDEC juga menawarkan pengalaman reka bentuk yang dinamik, inovatif dan lestari untuk para pelanggannya menerusi solusi kreatif yang lengkap meliputi pelbagai sektor di samping menjadi pusat sehenti reka bentuk terpilih dalam kalangan usahawan Malaysia untuk ke peringkat yang lebih tinggi.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut menyatakan harapannya agar lebih banyak usahawan dari negeri Perlis yang layak akan memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan oleh DDEC untuk memajukan dan mengembangkan perniagaan masing-masing ke tahap yang lebih tinggi dan menguntungkan." "Manfaat Menyimpan Dokumen Cukai Pendapatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPejam celik, pejam celik berakhirlah sudah tahun 2022. Hal ini bermakna tidak lama lagi akan bermulanya bulan Mac 2023 dan pembayar cukai individu akan mula menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengisi Borang Nyata (BN) Cukai bagi Tahun Taksiran 2022. Dalam kesibukan mengisi BN, pastinya ada kemungkinan akan berlakunya pelepasan cukai yang lupa untuk dituntut kerana resit dan dokumen berkaitan dengan pelepasan cukai tersebut hilang atau sudah lusuh akibat gagal disimpan dengan rapi.\nSelain daripada tanggungjawab menyimpan semua dokumen percukaian yang sememangnya termaktub dalam undang-undang, tindakan tersebut memberikan banyak kelebihan jika segala dokumen disimpan dengan rapi dan pastinya memanfaatkan pembayar cukai itu sendiri.\nMenerusi artikel ini, kami kongsikan manfaat bagi pembayar cukai yang akan peroleh sekiranya mereka mengamalkan tabiat menyimpan semua dokumen percukaian dengan baik dan selamat.\nAkta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) menyatakan dengan jelas bahawa setiap dokumen percukaian hendaklah disimpan dengan selamat sekurang-kurangnya untuk tempoh tujuh tahun. Ketetapan ini diperuntukkan di bawah seksyen 82 dan 82A\u00a0 ACP 1967. Kegagalan untuk mematuhi peruntukan dalam akta ini menjadi satu kesalahan yang boleh dikenakan denda atau penjara untuk suatu tempoh tertentu.\nSudah pastinya pihak kami tidak mahu pembayar cukai mengalami semua masalah ini, justeru patuhilah nasihat kami dan simpanlah semua dokumen percukaian dengan teratur dan selamat.\nSebelum pembayar cukai mengisi BN, kami percaya bahawa mereka akan membuat pengiraan cukai yang perlu dibayar terlebih dahulu untuk memastikan semua perbelanjaan dan pelepasan cukai telah diambil kira sebelum dikunci masuk dalam borang cukai elektronik atau e-Filing.\nBerdasarkan pengalaman pihak HASiL, kesilapan sering berlaku apabila pembayar cukai tidak bersedia dengan pengiraan cukai, resit dan dokumen percukaian sehingga menyebabkan mereka terlupa mengambil kira perbelanjaan dan pelepasan yang layak dituntut semasa mengisi e-Filing.\nAkibatnya, amaun cukai yang dikenakan sebagai bayaran kepada HASiL adalah lebih tinggi disebabkan jumlah perbelanjaan dan pelepasan cukai yang dilengkapkan dalam e-Filing adalah rendah daripada yang sepatutnya. Keadaan ini pasti merugikan pembayar cukai kerana mereka telah membayar amaun cukai yang lebih daripada yang sepatutnya kepada kerajaan.\nPenyimpanan rekod yang kemas, teratur dan selamat akan membantu pembayar cukai mengemukakan bukti perbelanjaan dan pelepasan cukai tersebut apabila diperlukan oleh HASiL.\nDalam Sistem Taksir Sendiri, HASiL akan menerima setiap pelaporan cukai daripada pembayar cukai secara suci hati. Hal ini bermakna bahawa pihak HASiL tidak meragui setiap pelaporan cukai yang dibuat oleh pembayar cukai sehinggalah didapati ada keraguan yang munasabah pada pelaporan tersebut.\nJika hal tersebut berlaku, maka pegawai HASiL akan menghubungi pembayar cukai dan memohon pembayar cukai untuk mengemukakan bukti perbelanjaan atau pelepasan cukai yang dituntut dalam BN mereka.\nTujuan proses ini dilakukan adalah untuk menyemak semula dan mengesahkan kesahihan tuntutan tersebut. Dalam hal ini, pembayar cukai tidak perlu bimbang kerana selagi semua resit dan dokumen percukaian berjaya dikemukakan dan perbelanjaan serta pelepasan cukai yang dituntut dapat dibuktikan kesahihannya, maka HASiL akan menerimanya tanpa mengenakan taksiran tambahan mahupun penalti.\nOleh sebab itulah pentingnya semua dokumen percukaian ini disimpan dengan rapi dan teratur.\nManfaat ini yang paling menyeronokkan dan sering tidak disedari oleh pembayar cukai. Tujuan dokumen percukaian disimpan sebenarnya bukan untuk membantu urusan HASiL semata-mata, malah hal tersebut memberikan peluang kepada pembayar cukai untuk meneliti semula pelaporan cukai yang telah dilakukan sebelum ini.\nJika pembayar cukai mendapati bahawa mereka telah tersalah melaporkan amaun perbelanjaan atau pelepasan yang menyebabkan kerugian kerana terpaksa membayar cukai yang lebih tinggi, mereka sentiasa dialu-alukan untuk menghubungi HASiL bagi urusan semakan semula sekali gus membolehkan mereka menikmati pengurangan cukai.\nOleh hal yang demikian, mulai hari ini, pembayar cukai dinasihatkan untuk mengamalkan tabiat menyimpan semua dokumen percukaian dengan teratur dan selamat. Perkara ini banyak memberikan manfaat kepada pembayar cukai. Kaedah penyimpannya juga tidaklah rumit kerana dokumen tersebut boleh disimpan dalam bentuk salinan cetak ataupun salinan lembut.\nSebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan dengan perkara ini boleh dikemukakan kepada HASiL melalui:\n\u00a0\nDikeluarkan oleh:\nBahagian Pendidikan Cukai, Jabatan Khidmat Korporat, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia" "MITI Menyasarkan untuk Menarik Pelaburan Sektor Kenderaan Elektrik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Xsolla Lebarkan Sayap Perniagaan ke Kuala Lumpur\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Pendaftaran Seminar Percukaian Kebangsaan (SPK) 2022 bagi Bajet 2023 Dibuka Semula\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dalam kenyataan media memaklumkan pendaftaran untuk peserta yang berminat menyertai webinar Seminar Percukaian Kebangsaan (SPK) 2022 akan dibuka mulai 16 Januari 2023 melalui portal https://spk.hasil.gov.my.\nSPK yang sepatutnya berlangsung pada bulan Oktober tahun lalu diadakan bagi membincangkan pelbagai inisiatif berkaitan dengan cukai langsung susulan pembentangan Bajet 2023. Penganjuran SPK 2022 akan diadakan dalam dua sesi, iaitu pada 7 Mac 2023 untuk sesi pertama dan pada 8 Mac 2023 untu sesi kedua. Penangguhan penganjuran SPK 2022 ini berikutan dengan keputusan kerajaan persekutuan untuk membentangkan semula Bajet 2023.\nBagi peserta yang telah membuat pendaftaran SPK 2022 yang lalu pada Sesi Pertama (12 Oktober 2022) dan Sesi Kedua (13 Oktober 2022), akan didaftarkan secara automatik sebagai peserta pada sesi dan tarikh baharu yang dinyatakan. HASiL dalam kenyataan medianya juga memaklumkan bahawa peserta yang ingin membuat pertukaran sesi seminar, pindaan tersebut boleh dibuat mulai 16 Januari 2023 melaui portal yang sama. Walau bagaimanapun, pindaan ini hanya dibenarkan kepada para peserta yang telah membuat pembayaran penuh yuran penyertaan SPK 2022. Bagi peserta yang telah mendaftar tetapi masih belum melaksanakan bayaran tersebut, pengesahan penyertaan SPK 2022 juga boleh dilakukan melalui portal ini.\nPihak HASiL sangat mengalu-alukan penyertaan orang ramai khususnya pengamal percukaian, badan perakaunan dan profesional serta pembayar cukai untuk menyertai seminar ini. Hal ini demikian kerana melalui seminar ini para peserta akan didedahkan dengan maklumat terkini berkenaan dengan pindaan semua akta yang ditadbir oleh HASiL lanjutan pembentangan Bajet 2023 oleh Menteri Kewangan pada 24 Februari ini. Antara topik penting yang akan dibincangkan dalam seminar ini termasuklah \u201cCadangan Bajet 2023\u201d\u00a0dan \u201cTadbir Urus Percukaian Korporat \u2013 Perspektif HASiL\u201d.\nTopik-topik ini akan dikupas secara tuntas oleh dua penceramah yang berpengalaman dalam bidang tersebut yang terdiri daripada pegawai kanan HASiL dan ahli panel profesional yang mewakili pengamal percukaian negara.\nPeserta yang bakal menyertai seminar ini boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dengan seminar yang dianjurkan dengan melayari laman web www.hasil.gov.my atau menghubungi pihak Urus Setia SPK 2022 (Bajet 2023) melalui e-mel [email\u00a0protected]. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada HASiL melalui talian HASiL Care line, 03-8911 1000/603-8911 1100 (luar negara)." "Kempen Melawat Kampung Tanpa Tunai Pertama di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSabak Bernam \u2013 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Yang Berhormat Ng Suee Lim, telah melancarkan kempen \u201cVisit Sekinchan 2023\u201d bertempat di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yoke Kuan, Sekinchan, semalam. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (HLB), Domenic Fuda dan Ketua Pegawai Eksekutif (PayNet), Farhan Ahmad.\nSekinchan yang terletak di daerah Sabak Bernam, Selangor merupakan kampung tanpa tunai pertama di Malaysia. Hong Leong Bank (HLB) dan Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) telah bekerjasama di bawah projek \u201cCashless Kampung\u201d yang dilancarkan pada Julai tahun lalu.\nProjek ini dilancarkan dengan objektif untuk\u00a0 memastikan 24 000 orang penduduk Sekinchan dibantu dalam pembukaan akaun bank, mengeluarkan kad debit dan berhubung dengan bank secara digital tanpa perlu mengunjungi cawangan perbankan berkenaan. HLB juga menyediakan 800 perniagaan kit permulaan HLB DuitNow secara berperingkat kepada komuniti perniagaan termasuk sekolah. Kit yang merangkumi Kod QR DuitNow itu memudahkan peniaga menerima bayaran secara Kod QR, atau tanpa sentuh menerusi aplikasi perbankan mudah alih dan e-Dompet.\nKami berharap ini akan membantu membina komuniti Sekinchan yang berkembang maju dan meningkatkan popularitinya sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan kemudahan tanpa tunai buat pengunjung,\u201c ujar Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fuda." "MDEC Sasarkan Jumlah RM49 Bilion dalam Sektor Pelaburan Digital Menjelang Tahun 2025\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Sektor semikonduktor Dijangka Mengalami Kelembapan pada Tahun 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Antara Deskriptif, Preskriptif dan Dogmatik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBahasa Melayu telah wujud dan berkembang mengikuti aliran masa dari zaman silam lagi. Dalam hal ini, bahasa Melayu pernah digunakan sebagai lingua franca atau bahasa perhubungan luas di Nusantara, digunakan sebagai bahasa ilmu di Aceh dan dijadikan bahasa pentadbiran dalam zaman Kesultanan Melaka.\nSeterusnya, dengan tercapainya kemerdekaan Tanah Melayu, bahasa Melayu telah diangkat sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, dan kemudiannya menjadi bahasa pengantar utama dan bahasa ilmu tinggi. Oleh itu, peranan yang dimainkan oleh bahasa Melayu semakin rencam dan kompleks.\nPerkembangan sezaman yang mengundang pelbagai perkembangan politik, ekonomi, sosial dan budaya menuntut agar bahasa Melayu diperkasakan dan dimantapkan untuk menggalas tanggungjawab komunikasi yang semakin berat. Bahasa Melayu bukan sahaja digunakan secara longgar dalam suasana yang santai, malah perlu digunakan dengan tepat dan jelas dalam pelbagai wacana komunikasi aras tinggi. Dengan itu, satu versi bahasa Melayu yang baku atau standard perlu diwujudkan sebagai wahana komunikasi yang berkesan.\nUsaha untuk memantapkan bahasa Melayu meliputi pelbagai perkara, termasuklah aspek fonologi, morfologi, sintaksis, ejaan, kosa kata, semantik, dan sebagainya. Dalam hal ini, tatabahasa preskriptif atau normatif telah menjadi gandingan baharu bagi tatabahasa deskriptif.\nTatabahasa deskriptif hanya menghuraikan fenomena penggunaan bahasa Melayu seadanya dalam masyarakat, tanpa membuat penentuan tentang betul salahnya sesuatu ujaran atau penulisan. Sebaliknya, tatabahasa preskriptif atau normatif berfokus dalam hal memilih dan menentukan bentuk yang betul atau baku untuk kegunaan masyarakat.\nTatabahasa preskriptif pula menetapkan rumus untuk dijadikan panduan atau pegangan oleh masyarakat. \u00a0Hal ini mirip dengan peranan doktor yang mempreskripsikan ubat atau prosedur untuk merawat pesakit. Dengan adanya preskripsi yang betul, barulah seseorang pesakit akan cepat sembuh dan sihat seperti sediakala.\nMemang ada baiknya tatabahasa preskriptif diadakan. Hal ini akan membolehkan bahasa Melayu menjadi bahasa moden yang berupaya mengungkapkan sebarang konsep atau fenomena yang berlaku di sekitar kita. Oleh itu, kita akan dapat mengurangkan perbezaan kedaerahan dan individu yang membatasi pemahaman pengguna umum.\nBahasa Melayu akan mencapai keadaan saling terjemah dengan bahasa utama di dunia. Unsur kekaburan atau ketaksaan makna akan dapat dielakkan dalam wacana akademik, perundangan dan pentadbiran. Selain itu, bahasa Melayu yang tercatat atau terakam akan dapat difahami dan dikaji sepenuhnya, dengan merentas batasan masa dan geografi. Dengan itu, kesinambungan dan kecemerlangan ilmu akan terpelihara di mana-mana jua pada segala zaman.\nPada dasarnya, perkara pokok yang terkandung dalam tatabahasa preskriptif lali dan kebal daripada perubahan yang drastik. Hal ini dikatakan demikian kerana pada umumnya, tatabahasa bersifat lebih stabil berbanding dengan kosa kata atau aspek bahasa yang lain. Dengan itu, perubahan yang berlaku lebih bersifat penataran atau pengubahsuaian pada huraian yang sedia ada.\nWalau bagaimanapun, kalaupun tatabahasa preskriptif memastikan kita menggunakan bahasa Melayu mengikut kerangka yang terkawal dan konsisten, hal ini tidak menidakkan kemungkinan bahawa sesetengah huraian mengikut tatabahasa preskriptif akan berubah jika ada tuntutan dan keperluan baharu.\nKata orang Barat, \u201cThe only constant is change\u201d, iaitu perkara yang tetap akan berlaku ialah perubahan. Oleh itu, dengan peralihan masa, ada sahaja perubahan yang akan berlaku pada huraian tatabahasa dengan adanya penemuan bukti atau penghujahan yang baharu. Jika kita enggan mengikut arus perubahan sezaman, perkembangan bahasa Melayu akan terbantut, lalu menjadi beku dan jumud, malah mungkin akan mati.\nDalam keghairahan kita untuk menetapkan tatabahasa preskriptif, satu perkembangan negatif yang mungkin berlaku secara sengaja atau sebaliknya ialah sikap yang dogmatik, iaitu sikap seseorang yang berpegang pada pandangan peribadi tanpa menghiraukan bukti yang ada atau mempertimbangkan pandangan lain yang mungkin benar.\nHal ini mungkin bererti seseorang tetap berpegang pada huraian\u00a0 lama yang kurang tepat dengan setia meskipun hal tersebut bercanggah dengan realiti. Satu lagi kemungkinan ialah seseorang mencadangkan huraian baharu yang kurang tepat tetapi enggan mengalah atau bertolak ansur. Kedua-dua kemungkinan ini akan menjadikan tatabahasa preskriptif bersifat statik, bukannya progresif.\nJika kita ingin memastikan tatabahasa preskriptif berkembang secara sihat dan terkawal, tidak boleh tidak muzakarah dan perbincangan tentang tatabahasa perlu diadakan oleh pelbagai pihak yang berkepentingan dari semasa ke semasa. Pertemuan boleh diadakan dengan agak kerap, iaitu mungkin beberapa kali setiap tahun. Siapakah mereka yang akan terlibat dalam perbincangan?\nSelain pakar akademik yang sentiasa menggerakkan dan memesrai kajian mendalam tentang tatabahasa, kita harus juga mengambil kira pandangan guru bahasa Melayu yang berpengalaman yang saban hari bergelumang dalam kubang wacana komunikasi bahasa Melayu. Dalam hal ini, ilmu dan amal tidak semestinya berkonflik dan bertelagah. Tidak ada soal dan tidak ada keperluan untuk kita menentukan pihak yang lebih berwibawa, lebih hebat atau lebih utama. Yang penting hanya tujuan bersama untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu.\nUntuk membolehkan majlis muzakarah berlaku secara positif dan membuahkan hasil, semua pihak yang terlibat patut bersikap rasional dan terbuka, bukannya emosional.\u00a0 Hal ini dikatakan demikian kerana hanya dengan pemikiran yang jernih dan jiwa yang tenang, barulah kita akan dapat menemukan kebenaran yang bagaikan sinar mutiara yang terpendam di dasar lautan yang gelap gelita.\nSeseorang tidak perlu bimbang bahawa kedudukan dan status dirinya akan tercabar atau terancam kerana sesi perbincangan berjalan dalam majlis yang tertutup dan terlindung daripada sorotan khalayak umum. Selain itu, penyampaian hujah harus dilakukan secara sopan dan tenang dengan nada yang sederhana, tanpa suara yang meninggi atau sikap marah membara.\nSetiap hujah yang dikemukakan harus juga berdasarkan logika dan bukti yang nyata. Kita mengakui hakikat bahawa seseorang mungkin akan dilanda rasa kecewa dan sedih apabila pandangannya tidak diterima. Namun demikian, kita berharap tiada yang akan berasa kesal dan merajuk atas hal sedemikian. Sepatutnya perasaan positif yang kita harapkan timbul ialah rasa kesyukuran bahawa kita telah bersama-sama menggerakkan bahasa Melayu selangkah atau beberapa langkah ke hadapan.\nPerkara yang dapat dijadikan sajian perbincangan para cendekiawan bahasa Melayu meliputi aspek ejaan, fonologi, morfologi, sintaksis, semantik, kosa kata dan peristilahan, sosiolinguistik dan hal seumpamanya. Walau bagaimanapun, yang menjadi fokus utama sudah tentulah morfologi dan sintaksis kerana kedua-dua aspek ini menjadi kandungan utama buku tatabahasa dan ujian tatabahasa. Dengan tatabahasa yang mantap, barulah kita ada pegangan yang mapan dalam hal berbahasa.\nSiapakah yang menggerakkannya? Kita berharap Dewan Bahasa dan Pustaka yang diamanahkan tugas untuk memajukan bahasa Melayu akan menjadi penggerak utama untuk menjayakan usaha yang murni ini. Dengan adanya prasarana birokrasi yang cekap dan lengkap, barulah majlis muzakarah tersebut dapat berjalan secara licin dan lancar.\nApakah hasil yang kita harapkan akan dijana? Sudah tentu kita berharap agar buku Tatabahasa Dewan yang menjadi pegangan utama tatabahasa bagi semua pengguna bahasa Melayu akan dapat dimurnikan dan dikemaskinikan mengikut perkembangan terkini. Bukankah sudah terlalu lama penantian kita?" "Bata Malaysia Ungguli Anugerah Emas dalam Anugerah Putra Aria Brands\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bata Malaysia memenangi Anugerah Emas bagi kategori pakaian dan aksesori dalam Majlis Penyampaian Anugerah Putra Aria Brands 2022. Anugerah itu dianjurkan oleh Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia yang bertujuan untuk mengiktiraf kecemerlangan jenama dalam landskap pemasaran dan pengiklanan bagi pelbagai kategori. Anugerah itu turut bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Persatuan Pengiklan Malaysia (MAA), Persatuan Pakar Media (MSA) dan Persatuan Digital Malaysia (MDA).\n Anugerah itu diukur berdasarkan pertumbuhan pengguna dengan lebih 25 000 responden mengambil bahagian membuat tinjauan di seluruh Semenanjung dan Malaysia Timur. Orang ramai menentukan jenama kegemaran Malaysia berdasarkan kebiasaan, pengalaman dan tanggapan jenama, niat pembelian mereka serta jenama yang akan mereka cadangkan kepada rakan dan keluarga dengan setiap kategori terdiri daripada anugerah Emas, Perak atau Gangsa.\n\nPengurus Bata Malaysia, Vaibhav Manrao menyatakan bahawa anugerah tersebut menjadi bukti bahawa pengguna mempercayai Bata sebagai pilihan kasut no.1\u00a0 di Malaysia. Beliau menambah Bata berbesar hati untuk diiktiraf sebagai salah satu pembina jenama di Malaysia. Beliau berharap pengiktirafan tersebut dapat menyemarakkan Bata Malaysia untuk terus memimpin, memberi inspirasi dan menjadi juara pertumbuhan mampan melalui produk dan perkhidmatan inovatif .\u00a0 Bata Malaysia juga berikrar untuk\u00a0 terus melangkah ke hadapan dan menjadi lebih baik." "\u201cKehadiran Malaysia Dirasai melalui Malaysia House \u201d\u2013 Tengku Datuk Seri Zafrul\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDavos \u2013 Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) ke-53 yang berlangsung selama empat hari mulai 16 Januari 2023 telah menghimpunkan seramai 2700 pemimpin yang mewakili 130 negara termasuk 52 ketua negara di Pergunungan Alps, Switzerland. WEF kali ini mengangkat tema \u201cKerjasama dalam Dunia Terpisah: Menangani Krisis Mendesak, Mengendalikan Cabaran Masa Depan\u201d di tengah-tengah pelbagai krisis yang hanya meningkatkan lagi perpecahan serta pemisahan landskap geopolitik dunia.\nMenteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, telah mengetuai delegasi Malaysia ke WEF 2023 dan berperanan sebagai ahli panel yang membincangkan isu Perdagangan Global: Menerajui Cabaran Rantaian Bekalan Pascapandemik. Dalam slot buat bicara tersebut, beliau berpasangan dengan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DP World yang berpangkalan di Dubai, iaitu Sultan Ahmed bin Sulayem.\n\nDalam sesi tersebut perbincangan tersebut memberikan tumpuan tentang isu sama ada kuasa makroekonomi seperti inflasi, ketegangan geopolitik, lonjakan harga komoditi, gangguan rantaian bekalan dan kekangan kapasiti akan berterusan pada tahun 2023 dan cara untuk syarikat mencipta rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan.\nKeutamaan krisis makroekonomi ini turut diakui oleh Pengasas dan Pengerusi Eksekutif WEF, Klaus Schwab yang berkata, \u201cKita dapat melihat bahawa kuasa politik, ekonomi dan sosial mewujudkan perpecahan yang mendadak pada peringkat global serta nasional.\u201d\n\u201cDalam usaha menangani punca hakisan kepercayaan ini, kita sebaliknya perlu memperkukuh kerjasama antara kerajaan dengan sektor perniagaan serta mewujudkan suasana pemulihan yang kukuh dan berterusan,\u201d tegas beliau ketika sesi forum berlangsung.\n\nMengenai pembukaan ruang \u201cMalaysia House\u201d buat kali pertama di Davos bersempena dengan WEF, Tengku Datuk Seri Zafrul berkata, hal tersebut merupakan pendekatan yang baik supaya kehadiran Malaysia dirasai.\n\u201cNegara lain telah mengambil pendekatan ini sejak beberapa tahun lalu. Kita mahu kehadiran kita dirasai. Kehadiran yang lebih kuat daripada sebelum ini,\u201c katanya.\nSelain itu, beliau juga menyifatkan bahawa WEF sebagai antara platform terbaik yang membuka peluang pelaburan asing di Malaysia dan mencetuskan peningkatan pelaburan yang sedia ada." "MTA dan IRC Jalin Kerjasama Tingkatkan Pengetahuan Takaful\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Pusat Penyelidikan Insurans Iran (IRC) mengadakan kerjasama dalam program peningkatan pengetahuan takaful yang bertujuan untuk mengukuhkan industri tersebut.\nKerjasama itu akan mewujudkan perkongsian yang dinamik untuk memanfaatkan pengalaman dan kepakaran setiap pihak dalam takaful dan sistem kewangan Islam. Kedua-dua organisasi itu akan bekerjasama dalam pemupukan pengetahuan, latihan dan pendidikan, pertukaran maklumat, menyediakan perundingan dan memupuk hubungan antarabangsa antara industri insurans domestik dengan perniagaan insurans antarabangsa.\nKetua Pegawai Eksekutif MTA, Mohd Radzuan Mohamed menyatakan bahawa mereka mengalu-alukan kerjasama dengan IRC sebagai sebahagian daripada komitmen untuk meningkatkan tahap industri. Beliau menambah kerjasama itu akan menjadi satu faktor penyumbang untuk mendorong pembangunan industri takaful dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara peneraju terbaik dalam ekonomi Islam global.\nKetua Pegawai Eksekutif IRC, Profesor Dr. Mohammad Mahdi Asgari pula menyatakan bahawa kerjasama itu akan memberikan manfaat daripada segi perkongsian pengetahuan mengenai takaful di peringkat antarabangsa. Tambah beliau lagi, kerjasama itu akan mengukuhkan dan meluaskan hubungan IRC dengan institusi akademik berkaitan mengenai penciptaan jurnal saintifik, persidangan saintifik pelbagai hala dan bengkel khusus antarabangsa." "Lawatan Kerja Timbalan Menteri Kewangan I ke HASiL\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013 Yang Berhormat Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan, Timbalan Menteri Kewangan I telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), Cyberjaya, Selangor. Lawatan ini merupakan lawatan sulung beliau sejak dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan I.\nKetibaan beliau disambut mesra oleh YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL bersama-sama dengan YBhg. Datuk Dr. Sotimin Muhalip, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian), YBhg. Datuk Abu Tariq Jamaluddin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan), Puan Wan Ramiza Wan Ghazali, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) serta barisan pengurusan kanan HASiL.\nLawatan kerja rasmi ini bertujuan untuk mendapatkan gambaran penuh akan peranan dan fungsi HASiL selaku agensi pentadbir cukai langsung negara. Pada tahun ini, HASiL akan terus melaksanakan pendekatan A.E.S (Awareness, Education, Services) bagi memastikan kadar pematuhan cukai meningkat dan sekali gus menyumbang kepada kutipan cukai langsung negara. Selain itu, lawatan ini turut membolehkan YB mendapat\u00a0maklumat terkini berhubung strategi yang telah dan sedang dilaksanakan di HASiL bagi memudahkan urusan percukaian pembayar cukai.\nBeliau turut berpeluang untuk melawat Hasil Network Alert Centre (HNAC) yang merupakan pusat pemantauan setempat aplikasi dan prasarana Information and Communications Technology (ICT) di HASiL yang dikawal selia oleh Jabatan Teknologi Maklumat. Pusat ini bertanggungjawab memastikan semua perkhidmatan dalam talian HASiL berada di dalam keadaan terkawal dan teratur.\nSebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada kami melalui\nhttps://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/public.\nEncik Syamsul Kamal Abdul Rahman, pegawai Jabatan Teknologi Maklumat memberikan taklimat ringkas kepada YB Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan berkenaan fungsi HASiL Network Alert Centre di Aras 2, Menara HASiL Cyberjaya." "Malaysia Madani Mengangkat Semula Martabat dan Kegemilangan Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Perdana Menteri, Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan Malaysia Madani sebagai gagasan yang mengemudi hala tuju negara dalam mengangkat semula martabat dan kegemilangan tanah air. Beliau menyatakan bahawa konsep Madani dirangka sebagai ikhtiar untuk memetakan strategi mentadbir negara dalam menangani pelbagai cabaran. Tambah beliau lagi, beliau optimis bahawa kegemilangan Malaysia akan kembali dicapai setelah melihat kepada keupayaan barisan kepimpinan politik, penjawat awam, dan sokongan masyarakat iaitu termasuk sektor swasta.\nKonsep madani diacu berteraskan enam tonggak dasar iaitu kemampuan, kesejahteraan, daya\u00a0cipta, hormat, keyakinan, dan ihsan. Selain memberikan penekanan pemerkasaan ekonomi, konsep itu juga menekankan bagi melahirkan masyarakat yang berakhlak tinggi.\u00a0Pada masa yang sama, Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim memberikan jaminan bahawa kerajaan perpaduan di bawah pimpinannya tidak akan meminggirkan masyarakat minoriti termasuk di Sabah dan Sarawak. \u00a0Beliau menegaskan bahawa kepimpinan dalam kerajaan perpaduan juga perlu diletakkan asas dan budaya baharu selain membasmi perkara lampau yang memberi kesan buruk kepada negara.\nSementara itu berteraskan konsep Malaysia Madani, kerajaan akan menstrukturkan semula ekonomi berasaskan etika mampan termasuk membasmi kemiskinan dan memberikan tumpuan sewajarnya kepada pengurusan pengelola dana awam yang telus dan baik." "BNM Kekalkan Kadar OPR\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Bank Negara Malaysia (BNM) \u00a0telah memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75% susulan mesyuarat yang diadakan oleh jawatankuasa dasar monitori (MPC).\u00a0Keputusan itu menjadikan kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut kekal iaitu kepada 3% dan 2.5% .\nBNM menjelaskan bahawa risiko pertumbuhan ekonomi domestik akan menjadi perlahan berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan.\u00a0Sebelum ini, \u00a0OPR telah dinaikkan empat kali berturut-turut sejak 11 Mei lalu. Namun setelah mesyuarat oleh\u00a0 jawatankuasa dasar monetari (MPC), OPR kekal selepas mengalami empat kali kenaikan.\nBNM turut menyatakan bahawa keputusan OPR dikekalkan membolehkan MPC menilai keselarasan kesan OPR secara kumulatif dasar monetari terhadap ekonomi.\u00a0BNM juga berpendirian bahawa dasar monetari\u00a0 kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.\u00a0MPC juga akan terus menetapkan dasar monetari yang mengimbangi risiko inflasi dan pertumbuhan yang mampan.\nBNM juga menjelaskan ekonomi global akan terus\u00a0 terjejas akibat tekanan kos yang kekal tinggi dan kadar faedah yang lebih tinggi serta gangguan berkaitan COVID-19 di China.\u00a0Bagi menguruskan tekanan inflasi, bank pusat dijangka akan terus menaikkan kadar faedah meskipun pada kadar yang lebih perlahan dan akan menyebabkan prospek pertumbuhan global akan menghadapi rintangan." "Ekonomi Malaysia Dijangka Berkembang Lebih Perlahan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Citi Research meramalkan bahawa ekonomi Malaysia bakal berkembang dengan perlahan, iaitu sekitar empat peratus pada tahun 2023. Hal ini berikutan kesan pertumbuhan asas dan ketidaktentuan eksternal yang lain.\nMenurut firma penyelidikan tersebut, pembukaan semula sempadan China dapat membantu mengimbangi kesan negatif ketidaktentuan daripada kemungkinan kemelesetan di negara Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat.\nKetua Citi Research Ekonomi Asia, Kit Wei Zheng menyatakan bahawa mereka meningkatkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mereka kepada 8.7 peratus, iaitu lebih daripada unjuran Kementerian Kewangan sebanyak 6.5 hingga 7 peratus. Mereka juga menjangkakan pertumbuhan sederhana pada kadar empat peratus pada ini.\nMengenai keputusan Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada kadar 2.75 peratus, Citi Research berpendapat, hal ini hanyalah bersifat sementara untuk memberikan pihak bank lebih masa bagi menilai kesan kenaikan kadar sebelum ini seterusnya beralih kepada keseimbangan risiko daripada pelarasan dasar dalam belanjawan.\nKit Wei Zheng menjangkakan bahawa kenaikan nilai mata asas OPR pada bulan-bulan yang mendatang disebabkan oleh inflasi teras yang masih dilihat tinggi.\n\u201cDengan inflasi teras masih dilihat tinggi (meskipun menyederhana) dan risiko kepada peningkatan pertumbuhan, kami menjangkakan sekurang-kurangnya kenaikan 25 mata asas lagi pada Mac dan 25 mata asas lagi pada Mei dengan kemungkinan kenaikan seterusnya pada separuh kedua tahun 2023,\u201d jelas beliau.\nPada peringkat global, Citi Research berpendapat bahawa hal tersebut memperlihatkan keadaan kemelesetan yang turun naik, dengan inflasi tinggi dan dasar monetari ketat dijangka membayangi prospek susulan cabaran geopolitik yang berterusan.\n\u201cDalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, kita melihat peralihan dinamik dalam ekonomi global\u201d.\nMenurutnya lagi, kemajuan pertumbuhan global tahun ini dijangka menurun kepada lebih dua peratus, hampir satu mata peratusan lebih rendah berbanding dengan prestasi yang agak baik pada tahun lepas.\nChina menamatkan strategi sifar COVIDnya, cuaca yang panas dan berangin di kawasan Eropah dan data terkini Amerika Syarikat menunjukkan inflasi rendah dengan aktiviti ekonomi yang masih kukuh. Meskipun berita baik kebelakangan ini, kami berpandangan ekonomi global masih bakal berdepan tahun yang mencabar,\u201d katanya." "Perdana Menteri Menyantuni Penjaja di Lembah Makanan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBukit Mertajam \u2013 Pada 23 Januari 2023, lokasi penjaja makanan di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang menjadi tumpuan penduduk di sekitar kawasan itu apabila dikunjungi oleh Perdana Menteri ke-10, Yang Amat Berhormat, Dato\u2018 Seri Anwar Ibrahim. Dato\u2018 Seri Anwar Ibrahim yang diibaratkan \u201cpulang ke kampung halaman\u201c tiba di Pulau Pinang. Beliau yang tiba bersama-sama isteri, Yang Berhormat Dr. Wan Azizah Wan Ismail disambut oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. Sebaik sahaja selesai menghadiri acara Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Spice Arena, Dato\u2018 Seri Anwar Ibrahim bersama-sama Ketua Menteri Pulau Pinang menyantuni pusat penjaja makanan yang terletak di Bandar Perda. Beliau tiba di pusat penjaja tersebut kira-kira pukul 5.00 petang dan bersama-sama penduduk di sekitar Bandar Perda menikmati juadah yang disediakan oleh penganjur, termasuklah juadah yang dijual oleh para penjaja dalam acara Minum Petang Bersama-sama Rakyat di Lembah Makanan. Dalam ucapannya, Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim menekankan keprihatinannya terhadap peniaga dan penjaja kecil yang turut menjadi nadi ekonomi negara. \u201cSaya akan memberikan tumpuan kepada penjaja-penjaja kecil kerana mereka harus dibantu dan diberikan sokongan agar perniagaan mereka maju, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi negara sedang pulih selepas dilanda wabak COVID-19\u201c. Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim turut memberitahu sebab kenapa beliau menolak untuk menerima gaji Perdana Menteri. \u201cPemimpin harus tahu tanggungjawabnya dengan memikirkan cara untuk mengubah nasib rakyat yang susah kerana berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi,\u201cdemikian menurut Perdana Menteri yang turut melahirkan rasa gembira kerana dapat bersama-sama rakyat di Pulau Pinang pada kali ini selaku pemimpin tertinggi negara.\nSebelum itu, Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim memulakan ucapannnya dengan pepatah, \u201ctempat jatuh lagi dkenang, inikan pula kampung halaman,\u201c yang secara langsung menggambarkan rasa gembiranya kerana dapat berjumpa dengan orang kampungnya, terutamanya di kawasan Permatang Pauh. \u00a0Perdana Menteri turut meluahkan rasa syukur dengan apa yang telah diusahakan oleh bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anuar yang telah mewujudkan satu kawasan khas untuk para penjaja makanan di Bandar Perda. \u201cSaya amat bersyukur kerana Nurul Izzah turut menunjukkan rasa prihatinnya pada nasib penjaja kecil yang menjual makanan di sekitar Bandar Perda ini, lantas mengambil usaha mewujudkan Lembah Makanan, iaitu suatu tempat khas yang menempatkan penjaja-penjaja makanan yang sebelum ini menjual makanan mereka di merata-rata tempat di sekitar Bandar Perda.\u201c Lembah Makanan merupakan hasil inisiatif Puan Nurul Izzah Anuar bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti, Yang Berhormat Norlela Ariffin yang turut mendapat kerjasama daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Bandar Perda. Lokasi Lembah Makanan terletak berdekatan dengan kawasan letak kereta Indah Water Konsortium telah dirasmikan oleh Puan Nurul Izzah Anwar pada 4 Disember 2022.\nLebih kurang 48 penjaja makanan ditempatkan secara berpusat dan sistematik di Lembah Makanan yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman, termasuklah makanan vendor yang dijual oleh penjaja. Pengunjung boleh membeli makanan seperti nasi kukus, kuetiaw goreng, dan nasi daging asam. Di situ juga turut dijual pelbagai jenis minuman seperti milo ais kepal, mangga susu, dan kopi pelbagai perisa. Ada juga dijual kuih-muih dan manisan serta koktel dan puding buah, termasuklah makanan bergoreng seperti ayam gunting, popia, donut, pisang goreng, keropok lekor dan cendawan goreng di Lembah Makanan.\nSesuai dengan namanya, Lembah Makanan menyediakan pelbagai jenis makanan daripada hidangan berat seperti nasi kepada hidangan ringan seperti kuih dan puding. Yang menariknya, sempena kunjungan Perdana Menteri, sebanyak 200 baucar bernilai RM5.00 diberikan kepada pengunjung dan baucar tersebut boleh digunakan pada hari tersebut sahaja untuk membuat pembelian makanan daripada semua gerai yang berniaga di Lembah Makanan." "OPR Kekal Jika Inflasi Terus Turun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Selepas kenaikan 25 mata asas sebanyak empat kali berturut-turut, Bank Negara Malaysia (BNM) melalui Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC)\u00a0 membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada kadar 2.75 peratus.\nJika OPR tersebut terus kekal, hal ini akan menyebabkan kadar inflasi dalam negara mereda pada bulan yang akan datang. Selain itu, tekanan inflasi dalam negara dilihat berupaya mereda dan memberikan petunjuk yang baik untuk kembali ke paras normal sebelum ini, iaitu sekitar lebih dua peratus.\nMenteri Ekonomi, Yang Berhomat Rafizi Ramli \u00a0menjelaskan bahawa jika kadar inflasi terus meningkat, BNM akan terus menaikkan OPR agar dapat mengehadkan permintaan. Menurut beliau lagi, semua pihak termasuk pelanggan berperanan untuk menentukan kadar inflasi. Keputusan BNM mengekalkan OPR, akan \u00a0meredakan inflasi pada bulan Januari dan Februari.\n\u201cSelepas melihat kadar tersebut memuncak pada Ogos dan September tahun lalu, trend tersebut seterusnya akan mereda dan menurun. Terdapat petunjuk yang menunjukkan bahawa inflasi akan mula mendatar,\u201d katanya.\n\u201cKadar inflasi pada tahun lalu menunjukkan sebanyak 3.3 peratus dan kadar tersebut lebih tinggi dua peratus daripada tahun sebelumnya.\u201d\nJelasnya lagi, jika inflasi mencecah hingga 2.8 peratus pada April tahun ini, hal tersebut akan menunjukkan harga barangan pada kadar yang baik untuk ekonomi. Namun begitu, beliau juga menegaskan agar harga yang dikenakan kepada pengguna perlulah seiring dengan \u00a0penurunan harga bahan mentah.\nKerajaan juga sedang merangka strategi baharu untuk menyelesaikan isu kos sara hidup dan akan diumumkan dalam waktu terdekat. Perangkaan strategi baharu tersebut melibatkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan." "Eksport Malaysia pada Tahun 2022 Melepasi Unjuran RMK12\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKetua Pegawai Eksekutif\u00a0 Matrade,Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz menyatakan bahawa\u00a0 komuniti perniagaan Malaysia kekal berdaya tahan susulan permintaan global yang kukuh dan harga komoditi yang tinggi walaupun berhadapan dengan persekitaran ekonomi global yang mencabar. Beliau menambah bahawa \u00a0Malaysia mengeksport rangkaian produk bernilai tinggi dan berdaya saing\u00a0 lebih 200 pasaran antarabangsa." "Penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi di Luar Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPengumuman Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Seri Ismail Sabri Yaakob tentang penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi di luar negara sangat dialu-alukan dan amat dihargai oleh pejuang dan pencinta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.\nDari sudut sejarah, bahasa Melayu memang telah menjadi bahasa diplomasi dalam tempoh ratusan tahun dahulu. Wujudnya warkah dan perjanjian antara kerajaan-kerajaan Melayu dengan kuasa asing seperti Portugal, Sepanyol, Belanda dan Inggeris di pelbagai perpustakaan di seluruh dunia menjadi buktinya. Sarjana Belanda seperti Van Linschoten dan Francis Valentijn menyamakan taraf dan peranan bahasa Melayu dengan bahasa Latin dan Perancis di Eropah pada abad yang sama, iaitu abad 16 Masihi.\nPernyataan Perdana Menteri di Bangkok itu membuka lembaran baharu untuk mengangkat semula bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa. Jabatan Perkhidmatan Awam dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 tahun 2011 yang bertajuk \u201cPanduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam\u201c telah menyebut galakan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan surat-menyurat di peringkat antarabangsa dalam bahasa Melayu dengan terjemahannya dalam bahasa Inggeris. Untuk perjanjian peringkat antarabangsa pula, bahasa Inggeris digunakan dan terjemahannya dalam bahasa Melayu dibuat untuk rekod dan semakan. Perkara yang sama dikeluarkan semula dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 tahun 2020 dengan tajuk \u201cPemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam\u201c.\nPernyataan Perdana Menteri itu patut menjadi sumber iltizam oleh semua penjawat awam yang berurusan di luar negara dan penjawat awam di dalam negara yang berurusan dengan pihak antarabangsa agar menggunakan bahasa Melayu, dengan terjemahannya dalam bahasa Inggeris.\nTentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) telah mengusulkannya sejak tahun 2000 dan berharap agar pernyataan Perdana Menteri itu akan menjadi kenyataan. Selain mempunyai penutur sekitar 300 juta orang di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam dan di sebahagian Thailand dan Kampuchea, bahasa Melayu difahami juga di negara ASEAN yang lain." "Inflasi Malaysia Menurun kepada 3.8% pada Disember 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Terlajak Klik Membawa Padah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerkembangan teknologi maklumat membolehkan orang ramai melakukan apa-apa sahaja dengan satu klik pada peranti yang digunakan. Namun begitu, dengan satu klik juga boleh menyebabkan mereka mengalami kerugian ribuan ringgit dalam sekelip mata.\nItulah yang berlaku kepada segelintir individu yang dilaporkan kehilangan wang dalam akaun simpanan mereka. Biasanya, mangsa terjebak setelah menekan pautan atau memuat turun aplikasi palsu daripada telefon pintar mereka, seterusnya tertipu dengan memberikan butiran maklumat peribadi termasuklah nombor akaun bank dan kata laluan kepada penjenayah siber.\nBegitulah kaedah mengumpan paling biasa yang digunakan oleh penjenayah siber untuk memerangkap mangsa tanpa mereka sedar. Dengan kaedah memperdaya mangsa memberikan maklumat peribadi, hal tersebut mampu membuatkan mangsa kehilangan wang yang disimpan di dalam akaun bank. Kaedah ini menyebabkan pengguna terperangkap dengan pelbagai pautan antaranya termasuklah dalam bentuk e-mel, sistem pesanan ringkas (SMS) dan juga aplikasi mudah alih yang dihantar oleh penjenayah siber ini ke telefon pintar mangsa. Pautan dan aplikasi tersebut adalah perisian samaran pengintip mudah alih yang berfungsi untuk memantau dan mendapatkan maklumat peribadi tanpa kebenaran pengguna termasuklah bagi mengakses akaun bank mangsa.\nPerisian Pengintip Mudah Alih\nPerisian pengintip mudah alih ini membuka ruang kepada pencerobohan data pengguna termasuk kata laluan perbankan dalam talian selain \u201cmenyedut\u201d segala maklumat akaun bank atau kad kredit sekiranya mangsa melawat laman perbankan dalam talian. Cara yang paling biasa bagi telefon pintar pengguna dijangkiti perisian pengintip mudah alih ini ialah apabila pengguna memuat turun aplikasi yang tidak dibenarkan atau aplikasi palsu di telefon pintar masing-masing.\n\nJusteru, pengguna perlu berhati-hati dan mengelak daripada menekan pautan yang tidak diketahui yang muncul secara tiba-tiba di skrin telefon pintar atau memuat turun aplikasi yang diarahkan untuk mengelak daripada dijangkiti perisian pengintip mudah alih. Tidak dapat disangkal, isu ini mencetuskan kebimbangan orang ramai. Ironinya, kes kecurian wang menerusi penggunaan peranti teknologi sudah berlaku sejak sekian lama, bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh dunia.\nDi Malaysia, rakyat pernah digemparkan dengan berita \u201cPencuri Satu Sen\u201d yang melibatkan seorang pekerja sebuah bank pada tahun 1990 yang memanfaatkan sistem komputer bank itu bagi mencuri satu sen daripada setiap akaun pendeposit dalam tempoh 14 hari dan berjaya mengumpul sebanyak RM14 juta!\nMenurut syarikat keselamatan siber, Kaspersky, Malaysia menjadi negara di Asia Tenggara paling terdedah terhadap ancaman aktiviti pancingan data berkaitan sistem pembayaran dengan sejumlah 195 032 aktiviti pancingan berkaitan pembayaran dikesan pada setengah tahun pertama 2022.\nKelicikan Penjenayah Siber\nHarus diakui bahawa seiring dengan perkembangan teknologi maklumat, penjenayah siber semakin kreatif dan licik dengan sentiasa mengubah modus operandi bagi mengatasi sebarang langkah dan sistem keselamatan yang dibangunkan oleh institusi perbankan hingga menjadikan orang ramai sebagai mangsa. Walaupun langkah dan sistem keselamatan sentiasa diperketat oleh institusi perbankan, namun penjenayah siber ini tetap dapat menembusinya.\nKegiatan ini semakin membimbangkan disebabkan kepakaran mereka dalam menggodam sistem. Oleh sebab itu, pemain industri perbankan perlu menyelaraskan usaha bagi memerangi jenayah siber dengan melaksanakan kempen kesedaran awam secara besar-besaran dalam rangkaian perbankan berhubung taktik terbaharu penjenayah siber ini.\nKempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan\nAntara usaha yang dilaksanakan oleh pemain industri perbankan dalam memerangi penjenayah siber adalah dengan melancarkan Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan. Kempen ini menampilkan satu logo untuk memudahkan orang ramai mengingat tiga langkah mudah bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan siber.\n\nLogo tiga langkah mudah itu juga dikenali sebagai peraturan tiga saat, iaitu AWAS, FIKIR, BLOK (STOP, THINK, BLOCK), yang memberikan peringatan kepada orang ramai supaya berwaspada apabila menerima sebarang panggilan, mesej atau e-mel daripada pihak yang tidak dikenali. Melalui cogan kata \u201cIngat 3 Saat OK\u201d dan tanda pagar #JanganKenaScam, industri perbankan menggesa orang ramai untuk mengingati peraturan tiga saat tersebut agar kekal selamat dan tidak menjadi mangsa penipuan siber. Kempen itu dilancarkan secara bersama oleh Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi-Institusi Pembangunan Kewangan Malaysia (ADFIM). Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan itu adalah kesinambungan usaha industri perbankan untuk memerangi penipuan dalam talian serta mendidik pengguna mengenai penipuan dalam talian sambil berkongsi petua mudah untuk kekal selamat semasa dalam talian.\nKempen itu melengkapkan lima langkah pencegahan tambahan yang diambil oleh institusi perbankan untuk memerangi penipuan kewangan seperti yang dinyatakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), iaitu peralihan daripada penggunaan kata laluan sekali saja (OTP) yang berasaskan SMS kepada kaedah pengesahan yang lebih selamat; mengetatkan lagi peraturan pengesanan dan pencetus bagi menyekat transaksi berkaitan penipuan kewangan; pelanggan dihadkan kepada satu peranti mudah alih atau peranti selamat untuk pengesahan transaksi perbankan dalam talian; tempoh pengesahan dan menunggu untuk pendaftaran kali pertama perkhidmatan e-perbankan; dan saluran aduan khusus 24/7 untuk pelanggan.\nUntuk langkah pencegahan tambahan yang terakhir, kerajaan baru-baru ini mengumumkan penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), iaitu pusat arahan untuk menyelaraskan tindak balas pantas bagi penipuan kewangan dalam talian. Mangsa penipuan kewangan dalam talian boleh menghubungi talian hotline bank mereka atau talian hotline NSRC, iaitu 997 untuk membuat aduan dan laporan. Harus difahami, dalam isu ini usaha untuk mengesan dan memintas dana yang dicuri dan untuk mengelakkan kerugian selanjutnya, masa menjadi terpenting. Justeru, mangsa mesti segera menghubungi bank mereka atau 997 sebaik-baik saja mereka mendapati bahawa mereka telah ditipu penjenayah siber.\nNamun begitu, di sebalik pelbagai langkah yang diambil oleh pihak berwajib, isu penipuan kewangan dalam talian ini akan terus berleluasa selagi pengguna sendiri tidak melengkapkan diri dengan pengetahuan selain memupuk sikap waspada.\nMenurut Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Amirudin Abdul Wahab, walaupun semua aplikasi perbankan mempunyai tetapan keselamatan tersendiri di samping sistem keselamatan yang dibangunkan oleh pengeluar telefon pintar dan aplikasi mudah alih lain yang terdapat di pasaran, namun aspek itu tidak dapat menjamin 100 peratus keselamatan pengguna setiap kali mereka menggunakan Internet. Apabila orang ramai menggunakan Internet, mereka sebenarnya terdedah terhadap risiko ancaman siber dan hal tersebut tidak terhad kepada portal bank atau urus niaga dalam talian.\n\nVirus dan perisian hasad dalam aplikasi boleh digunakan sebagai satu cara untuk mencuri maklumat daripada telefon pintar pengguna. Terdapat beberapa jenis perisian hasad yang sudah dikenal pasti seperti SMSStealer dan keylogger yang digunakan dalam kes penipuan melalui telefon pintar. SMSStealer berkebolehan mencuri kod keselamatan termasuk Kod Kebenaran Transaksi (TAC) atau OTP yang dihantar oleh bank kepada pelanggan bagi mengakses platform jual beli dan perbankan dalam talian. Perisian hasad dan virus juga sering dimasukkan ke dalam kod laman sesawang dan aplikasi palsu yang dihantar kepada pengguna.\nMencegah Lebih Baik\nSecara umumnya, sistem keselamatan yang digunakan oleh insitusi kewangan termasuk bank adalah selamat. Institusi kewangan mempunyai sistem keselamatan siber yang terkini bagi melindungi sistem perbankan dan ini termasuk sistem pemantauan ancaman keselamatan siber yang dapat memantau trend ancaman dan serangan siber terkini. Perkara utama yang perlu dibuat ialah mencegah sebelum hal tersebut berlaku.\nSekiranya pengguna membuat tetapan keselamatan dan melaksanakan amalan terbaik, risiko untuk terdedah terhadap ancaman siber akan menjadi lebih rendah. Antara langkah pencegahan yang boleh diambil termasuklah tidak menggunakan rangkaian WiFi awam untuk urusan perbankan kerana dikhuatiri hal tersebut merupakan perangkap yang dipasang penjenayah siber bagi mencuri maklumat peribadi. WiFi awam adalah tidak selamat kerana dapat diakses secara meluas oleh sesiapa sahaja yang berniat jahat.\nOrang ramai juga perlu sentiasa memastikan peranti mempunyai perisian antivirus sebagai perlindungan tambahan serta sentiasa mengemas kini perisian itu supaya berada pada versi terkini. Selain itu, bina kata laluan yang kukuh kerana hal ini merupakan benteng pertahanan utama dan pengguna juga dinasihatkan menggunakan ciri keselamatan yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan media sosial seperti Facebook dengan mengaktifkan pengesahan dua hala, yang mana jika terdapat percubaan mengakses ke akaun media sosial pengguna, kod keselamatan melalui SMS akan dihantar ke telefon masing-masing. CyberSecurity Malaysia membangunkan aplikasi keselamatan yang dipanggil MASSA, khusus untuk telefon pintar Android. Aplikasi ini mampu mengimbas, mengesan dan melaporkan sebarang pelanggaran data pada telefon pintar. Pengguna disarankan untuk mengunakan aplikasi ini sebagai langkah berjaga-jaga.\nAdalah lebih baik untuk berwaspada dan mengambil tindakan pencegahan kerana sekiranya terlajak klik, hal tersebut hanya akan membawa padah kepada diri pengguna. Bayangkan wang hasil titik peluh yang tersimpan di dalam akaun simpanan \u201clesap\u201d begitu sahaja, apatah lagi wang tersebut adalah satu-satunya sumber kewangan yang ada. Justeru, elakkan kecuaian dan sentiasa beringat!" "HASiL Kukuhkan Kerjasama dengan Persatuan Perdagangan dan Dewan Perniagaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) menganjurkan sesi libat urus yang melibatkan YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom\u00a0 Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL bersama dengan 54 dewan perniagaan dan persatuan perdagangan. Sesi itu disertai\u00a0 lebih daripada 150 orang ahli perniagaan. Sesi itu bertujuan untuk meningkatkan tahap pematuhan cukai dalam kalangan rakyat dan pembayar cukai di Malaysia. Sesi itu telah diadakan di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur. Turut memeriahkan sesi itu ialah YBhg. Datuk Dr. Sotimin Muhalip, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian), Puan Wan Ramiza Wan Ghazali, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) serta barisan pengurusan kanan HASiL.\nSesi itu bertujuan mendapatkan maklum balas secara terus daripada pihak\nberkepentingan berkenaan isu serta cadangan penambahbaikan mutu perkhidmatan\nHASiL memandangkan dewan perniagaan dan persatuan perdagangan ini mampu\nbertindak sebagai ejen penyebarluas maklumat serta info percukaian kepada semua ahli\ndi bawah naungannya. Bagi mencapai objektif penganjuran sesi ini, YBhg. Datuk Dr.\nMohd Nizom\u00a0 Sairi melalui sesi dialognya turut sama bertukar-tukar pendapat dan\nmaklumat serta bertindak menjadi pemudah cara dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan\nyang telah dibangkitkan.\nDalam sesi tersebut, beliau juga telah menyampaikan hasrat dan aspirasi dalam\nmemperkasakan peranan serta fungsi HASiL selaku agensi pentadbir cukai langsung\nnegara yang mana pendekatan HASiL berteraskan konsep A.E.S (Awareness,\nEducation, Services) akan diteruskan lagi dalam tahun 2023 bagi memastikan kadar\npematuhan pembayar cukai terus menunjukkan peningkatan yang positif.\nSehingga bulan Januari tahun 2023, HASiL telah mengadakan sebanyak tiga sesi\nlibat urus bersama pemain industri dan akan terus komited menganjurkan sesi\nsebegini yang merupakan platform terbaik HASiL dalam mendekati pembayar cukai dan\nseterusnya menjadi rakan strategik pembayar cukai dalam kitaran ekosistem percukaian.\nSebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada kami\nmelalui:\na) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);\nb) HASiL Live Chat; dan\nc) Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas\nhttps://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/public." "BNM Memaklumkan Aset Rizab Rasmi Malaysia Berjumlah USD 114.65 Bilion pada Disember 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Program Menu Rahmah Mendapat Reaksi Positif Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSelangor \u2013\u00a0Pelancaran Program Menu Rahmah yang telah disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub,pada 31 Januari 2023 yang lalu mendapat reaksi positif dalam kalangan rakyat Malaysia.\n\u201cHarga yang ditawarkan adalah berpatutan, hidangannya segar dan amat menyelerakan. Program ini amat baik malah berbaloi bagi mereka yang mempunyai jumlah ahli keluarga yang ramai,\u201d begitulah antara reaksi positif pelanggan menu Rahmah yang dipetik daripada tinjaun Bernama. Pelancaran Menu Rahmah ini merupakan salah satu inisiatif baharu dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat untuk perbelanjaan makanan dan minuman khusnya buat golongan rakyat sasar yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup pada masa kini.\nPenyediaan Menu Rahmah merupakan hidangan seimbang merangkumi nasi, satu pilihan protein iaitu ayam atau ikan dan sayuran yang ditawarkan dengan harga RM 5.00 sepinggan. Program itu merupakan kerjasama antara pihak kerajaan bersama pemain industri makanan dan minuman di Malaysia. Sebanyak 15 000 premis penjual makanan turut serta dalam melaksanakan usaha membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat golongan sasar.\n\u201cSaya harap peranan kementerian sedikit sebanyak dapat membantu rakyat dalam mendepani kos sara hidup,\u201d ujar Menteri (KPDN) dalam sidang media di Bandar Baru Bangi selepas melakukan lawatan mengejut di beberapa kedai makan sebahagian daripada Ops Menu 3.0.\nSelain inisiatif Menu Rahmah, terdapat juga program yang akan menyusul seperti:" "Tajaan Pengajian Percuma di Universiti Mampu Mengubah Nasib Keluarga Miskin.\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pelbagai pihak terutamanya golongan B40 dan keluarga miskin menyambut baik tentang program pengajian percuma untuk menyambung pengajian ke universiti seperti yang dicadangkan oleh\u00a0 Menteri Pendidikan\u00a0 Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan bahawa pendidikan dapat mengubah nasib golongan tersebut. Program pengajian percuma itu diberikan kepada generasi pertama keluarga miskin yang berjaya memasuki universiti.\nDr. Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyatakan bahawa program itu dapat membantu pembentukan modal insan dapat\u00a0 direalisasikan secara menyeluruh\u00a0 dalam golongan miskin dan B40. Tambahan beliau lagi, program itu dilihat dapat memberikan peluang dan ruang kepada pelajar yang terlibat untuk mendapat akses dalam pendidikan dan pengetahuan dan seterusnya dapat mengeluarkan keluarga golongan miskin tersebut daripada kelompok kemiskinan.\nTambahan beliau lagi, program tersebut dapat memberikan manfaat kepada golongan miskin dengan memberikan pengetahuan dan pendidikan dan seterusnya dapat mengeluarkan golongan keluarga miskin ini daripada kelompok kemiskinan. Beliau juga berkata dengan kemampuan kewangan negara yang ada, program itu boleh dilaksanakan dengan memberikan bantuan pembiayaan yuran pendidikan secara percuma kepada golongan ini.\nWalau bagaimanapun, program itu juga bergantung kepada jumlah keseluruhan pelajar yang menerima bantuan tersebut dan implikasi kewangan negara yang akan terlibat. \u201cProgram ini merupakan jajaran daripada pengenalan Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia\u00a0(SULUNG) sebelum ini yang dilihat mempunyai ciri persamaan yang sama dengan berfokuskan kepada keluarga miskin dan golongan B40\u201d, katanya. Beliau juga berpendapat bahawa rakyat perlu melihat secara realistik program itu \u00a0untuk semua rakyat Malaysia kerana boleh memberikan kesan yang besar kepada kewangan negara pada masa akan datang.\nPensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad\u00a0 berkata pada tahun 1970-an keberhasilan program sebegini dapat dilihat apabila kerajaan berjaya membantu golongan miskin melalui beberapa program iaitu dari segi pinjaman, asrama dan biasiswa. Pada tahun 1970- an program sebegini mampu untuk membuka peluang yang luas kepada anak-anak golongan miskin \u00a0mereka akhirnya berjaya mengubah nasib keluarga.\nBeliau juga turut berpendapat bahawa sekiranya dasar itu berjaya dilaksanakan akan memberikan impak yang besar kepada golongan ini dan dapat merapatkan jurang kemiskinan di negara kita. \u201cKerajaan perlu mentakrifkan golongan miskin yang layak mendapat tajaan dalam melaksanakan dasar ini,\u201d katanya ketika dihubungi Bernama.\nBeliau juga berharap agar Kementerian pendidikan tinggi (KPT) mempunyai garis panduan yang jelas tentang pelaksanaan penajaan ini dan mempunyai definisi kerangka serta penjelasan bagi mereka yang layak dalam proses pemilihan. Menteri Pendidikan Tinggi telah memperkenalkan program pengajian percuma pada 30 Januari lepas kepada pelajar generasi pertama dan dasar dan mekanisme tersebut akan dibawa kepada Jemaah Menteri untuk disokong serta akan dijadikan dasar berterusan kerajaan." "HASiL Santuni Anak Yatim dan Asnaf Kampung Silad menerusi Inisiatif CSR\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRanau \u2013 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus memperkasakan\u00a0 Program Tanggungjawab Sosial (CSR) dengan menyantuni 39 orang anak yatim dari Rumah Anak-anak Yatim dan Asnaf Kampung Silad di bawah kelolaan Persatuan Kebajikan Rumah Anak Yatim dan Asnaf Daerah Ranau. Program ini dilaksanakan seiring dengan konsep Malaysia Madani yang menerapkan sifat ihsan, peduli dan kasih sayang dalam masyarakat bagi mewujudkan keamanan bersama.\nBerdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh HASIL hari ini, pihak HASIL telah menyerahkan sumbangan berbentuk makanan, barangan dan wang tunai berjumlah RM6000 menerusi program ini kepada pihak yang terlibat. Penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi.\n\u201cHASiL amat komited dalam meneruskan usaha menyantuni rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat untuk memberikan pelbagai bantuan melalui inisiatif CSR di samping membantu meringankan beban, terutamanya golongan asnaf dan masyarakat di luar bandar yang memerlukan serta melahirkan warga kerja HASiL yang prihatin,\u201d demikian ulasan YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi dalam kenyataan media tersebut.\nMenurut beliau lagi, pelaksanaan program ini ialah satu daripada pendekatan strategik HASiL dalam mendekatkan diri kepada masyarakat sekali gus sebagai tanda sokongan HASiL kepada pembangunan modal insan, termasuklah masyarakat di luar bandar dan golongan asnaf.\nSebarang pertanyaan atau maklumat lanjut yang berkaitan dengan HASiL, boleh dimajukan kepada pihak HASiL Care Line di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (luar negara). Sebarang pertanyaan menerusi mesej boleh dikemukakan melalui ruangan HASiL Live Chat atau masyarakat boleh mengisi borang maklum balas di portal rasmi HASiL." "Ekonomi Malaysia Mampu Capai Pertumbuhan Positif pada Tahun ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri,\u00a0 Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melaungkan keyakinan Malaysia mampu mencapai pertumbuhan positif dan seterusnya ingin mengelakkan kemelesetan ekonomi berlaku pada tahun ini walaupun perlu berhadapan dengan ancaman ekonomi global.\nBeliau juga optimis\u00a0 bahawa Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan walaupun pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun ini diunjurkan sederhana berbanding tahun sebelum ini. \u201cMalaysia perlu merebut segala peluang yang ada untuk memastikan semua enjin pertumbuhan\u00a0 ekonomi kekal aktif terutamanya dalam pelaburan dan perdagangan.\u201d\u00a0Tambahan beliau, pelaburan yang berkualiti berupaya untuk menawarkan peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat dan seterusnya dapat meningkatkan pendapatan negara.\nDalam lawatan beliau ke Pulau Pinang baru- baru ini, beliau telah\u00a0 bertemu dengan pegawai tertinggi negara dan peserta industri untuk membincangkan cara untuk mengukuhkan lagi ekosistem perindustrian di negeri itu kerana Pulau Pinang merupakan antara salah satu destinasi pelaburan utama sektor elektrik dan elektronik(E&E) dan teknologi perubatan. Beliau juga sebolehnya ingin membantu dan membangunkan perusahaan kecil dan sederhana di negara ini yang boleh menawarkan perkhidmatan dan seterusnya menjadi pembekal kepada syarikat multinasional.\nBeliau\u00a0 juga menjelaskan bahawa Pulau Pinang merupakan contoh yang terbaik untuk dilihat kerana banyak syarikat multinasional yang bekerjasama dengan syarikat kecil sehingga syarikat-syarikat kecil ini dapat berkembang dan disenaraikan di bursa saham." "Sri Lanka Berharap agar IMF Meluluskan Pinjaman Secepatnya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSri Lanka \u2013 Sri Lanka menjangkakan pinjaman daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) akan diluluskan tidak lama lagi. Presiden Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe yakin pinjaman negara tersebut akan diluluskan selepas melengkapkan prasyarat untuk memperoleh pinjaman\u00a0 sebanyak 2.9 bilion dolar atau 12. 3 bilion ringgit\u00a0\u00a0 daripada IMF\u00a0 untuk menyelamatkan negara itu daripada kegawatan ekonomi.\nBeliau berharap agar mendapat kelulusan yang cepat\u00a0 untuk membiayai hutang luarnya yang mencecah 7 bilion dolar. Akibat krisis ekonomi yang melanda negara tersebut yang berpanjangan dan diburukkan lagi dengan kekacauan politik, Sri Lanka terjerumus dalam kemelut ekonomi sehingga diisytiharkan muflis.\u00a0Sri Lanka terperangkap dalam krisis \u00a0kewangan terburuk sejak memperoleh kemerdekaan daripada Britain pada tahun 1948 disebabkan oleh kekurangan dolar yang teruk.\nNegara itu juga turut dibebani dengan cukai yang tinggi dan mengalami kekurangan barang keperluan seperti bahan api dan ubat-ubatan\u00a0 dan rakyatnya juga terpaksa berhadapan dengan pemotongan bekalan elektrik setiap hari. Ranil Wickremesinghe merupakan presiden Sri Lanka yang baharu selepas presiden sebelum ini melarikan diri ke negara lain dan meletakkan jawatan pada tahun lepas selepas\u00a0 pengepungan dilakukan oleh ribuan penunjuk perasaan di pejabat dan kediamannya.\nBeliau juga menjelaskan bahawa akan menumpukan untuk mendapatkan jaminan pembiayaan daripada pemiutang utama iaitu Jepun dan China. Bank pusat Sri Lanka juga menganggarkan bahawa ekonomi akan kembali pulih pada separuh kedua tahun ini dan inflasi akan melonjak satu digit menjelang akhir tahun ini.\n-REUTERS." "Penjenamaan Semula Sistem Percukaian Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sistem percukaian yang efektif akan membantu meningkatkan pendapatan ekonomi sesebuah negara. Oleh itu, kaedah sistem percukaian yang dilaksanakan seharusnya menjadi salah satu agenda tumpuan sesebuah negara bagi memperkasakan kemampanannya. Dr.Zulkufli Zakaria, penganalisis strategik ekonomi membicangkan sistem percukaian berdasarkan topik \u201cMalaysia Madani: Pembaharuan Konsep Percukaian, Perkasa Kemampanan Negara\u201d dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia. Beliau menyatakan bahawa terdapat pertalian yang erat antara sistem percukaian dengan politik negara yang sudah seawal 1880-an. Tegas beliau lagi, sistem percukaian sedia ada seharusnya dikaji semula, terutamanya melibatkan golongan yang dikenakan sistem sistem cukai.\nBeliau menyatakan bahawa mekanisme sistem percukaian harus dimantapkan bagi memastikan tiada pihak lari daripada membayar cukai. Beliau memberikan cadangan untuk mengenakan cukai kepada warga asing yang bekerja di Malaysia. Ujar beliau, bilangan tenaga asing yang bekerja di Malaysia agak tinggi dan kerajaan perlu mencari mekanisme cukai yang sesuai bagi golongan tersebut. Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan perlu melakukan penjenamaan semula perlaksanaan sistem percukaian.\nPertama, beliau menyarankan agar pihak yang terlibat melakukan pengubahsuaian sistem cukai mengikut keadaan ekonomi semasa. Berdasarkan pengamatan akademik, ketika kerajaan melaksanakan sistem cukai GST, beberapa lapisan yang terkena impaknya. Sistem rebat yang ada dalam GST kurang cekap kerana mereka yang terlibat hanya mendapat rebat selepas empat bulan dan cukai dikenakan 20% sekiranya lambat mendapat rebat. Akhirnya, keadaan itu membebankan rakyat sehinggakan rakyat tidak mampu membayar cukai. Beliau mengulas bahawa pihak yang dikenakan cukai perlu menunaikan tanggungjawab mereka kerana mereka akan menikmati faedah cukai tersebut.\nBeliau juga menegaskan bahawa sistem data amat penting bagi menentukan pelaksanaan sistem cukai yang baharu terutamanya berkenaan golongan yang dikenakan cukai. Hal ini demikian kerana sistem data yang menyeluruh akan membantu pelaksanakan sistem cukai baharu yang lebih baik. Beliau menyarankan agar diwujudkan sistem cukai alam sekitar atau yang dikenali sebagai cukai karbon kepada pemain industri seperti yang dilaksanakan oleh negara maju seperti New Zealand, United Kingdom, Korea Selatan, Sweden, dan lain-lain lagi.\nPelaksanaan cukai tersebut boleh memberikan dua kesan utama iaitu hasil kutipan cukai boleh diagihkan sebagai pulangan balik kepada rakyat dan yang kedua dapat memberikan pendidikan kepada pemain industri agar peka terhadap isu alam sekitar sekali gus dapat mengurangkan pelepasan gas yang boleh menyebabkan pencemaran. Pada akhir temu bual, beliau berharap agar sistem percukaian dan polisi percukaian harus diubahsuai serta kerajaan dapat membantu syarikat PKS dan syarikat yang sudah sedia ada untuk menjayakan Green House. Beliau juga mengharapkan agar politik dan ekonomi dapat disatukan agar segala perancangan dapat dilaksanakan dengan baik supaya rakyat dapat memahami matlamat kerajaan." "Kamus Melahirkan Masyarakat Terampil Berbahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2212 Pada masa ini, teknologi digital merupakan satu wadah yang amat berkesan untuk memartabatkan bahasa Melayu khususnya kepada generasi muda. Namun begitu, penggunaan kamus juga dilihat berperanan penting dalam menambah perbendaharaan kata seseorang yang boleh menjadi panduan kosa kata kepada semua golongan masyarakat.\nMenurut Encik Mohd. Rosle Said dalam isu penggunaan kamus, kebanyakan guru yang mengajar bahasa Melayu jarang-jarang menggunakan kamus dalam sesi pengajaran. Hal ini menyebabkan pelajar sukar mencari kosa kata tentang penggunaan bahasa Melayu. Sementelah pula, guru sendiri pun ada yang kurang jelas tentang makna penggunaan kata, ejaan, bentuk kata dan sebagainya. Oleh itu, sekiranya guru tidak memanfaatkan penggunaan kamus dalam sesi pengajarannya, maka itu tindak yang kurang bijak.\nHal ini demikian kerana kamus banyak memberikan maklumat yang tepat yang boleh diperoleh dengan cara yang mudah serta banyak aktiviti juga boleh dilakukan semasa sesi pengajaran dalam kelas.\nGuru seharusnya bijak memanfaatkan kamus supaya murid berupaya menguasai kosa kata dengan meluas dan sesi pembelajaran menjadi lebih menarik apabila murid dapat meneroka perkataan melalui pembentukan bahasa yang meluas hanya dengan menggunakan kata.\nKita bukan membaca kamus tetapi dengan cara merujuk dan menyelidik kamus, iaitu kamus dijadikan sebagai bahan bimbingan dan didikan yang akan dapat melahirkan murid yang berjaya menguasai kosa kata dengan mantap dan meluas.\nTambah beliau lagi, masyarakat perlu mengekalkan jati diri bahasa Melayu terlebih dahulu sebelum menggunakan kata pinjaman untuk mengekalkan keunikan bahasa Melayu.\nDi samping itu, Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) merupakan enjin pencarian bahasa yang sangat berguna kepada masyarakat kini kerana pelbagai maklumat kebahasaan dapat diperoleh dengan cepat \u2212 semuanya berada di hujung jari. Portal ini juga dapat dijadikan sebagai sumber takungan kata, iaitu banyak ilmu dan tunjuk cara yang berkaitan dengan tatabahasa dan pembentukan kata dapat diperoleh secara mudah dan berkesan.\nPandangan tersebut turut dipersetujui oleh Puan Zack Kirana. Menurut beliau, pemahaman konsep berkenaan dengan kamus sangat penting. Melalui kamus, kita akan dapat mengetahui maksud sesetengah bahasa dari aspek kesalahan ejaan. Iklan-iklan yang dibuat oleh media massa dan papan tanda juga didapati banyak menggunakan ejaan yang salah. Oleh itu, pihak-pihak yang berkenaan disarankan untuk membuat rujukan dan penyemakan ejaan dengan menggunakan kamus.\nPRPM dapat melahirkan masyarakat yang peka bahasa dan melalui portal ini juga diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang cinta akan bahasa Melayu dan seterusnya melahirkan masyarakat yang berteraskan bahasa jiwa bangsa.\nDemikianlah antara penerangan menarik daripada Encik Mohd. Rosle Said (Munsyi Dewan) dan Puan Zack Kirana (Guru Bahasa Melayu) selaku ahli panel, manakala Puan Siti Norsuhaila Shamsudin (Perancang Bahasa) pula bertindak selaku moderator menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 3.30 petang tadi menerusi Rancangan \u201cSembang Tamu: Kuasai Kosa Kata, Terampil Berbahasa\u201d." "Malaysia Berpotensi Muncul sebagai Hab automotif di Pasaran ASEAN\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Bank Dunia Gesa Malaysia Cari Sumber Pendapatan Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bank Dunia menyatakan bahawa Malaysia perlu meninjau sumber pendapatan baharu bagi memantapkan kedudukan fiskalnya memandangkan pendapatan kerajaan berada dalam aliran menurun sejak 2012.\nKetua Pakar Ekonomi Malaysia Bank Dunia, Dr Apurva Sanghi menyatakan bahawa pembinaan semula penampan fiskal harus dipacu dengan meningkatkan kutipan hasil dan kecekapan perbelanjaan yang lebih baik. Beliau menambah terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk menjadikan ekonomi lebih kukuh, termasuk mengukuhkan cukai penggunaan, memperluas asas cukai pendapatan peribadi, dan menyelaras pelepasan cukai.\nBeliau turut menyatakan bahawa Malaysia harus beralih daripada ekonomi kepenggunaan kepada ekonomi diterajui pelaburan yang secara langsung akan meningkatkan gaji pekerja tempatan. Dalam masa yang sama, kerajaan mengubah subsidinya secara beransur-ansur kepada subsidi yang lebih berfokus kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah. \u201cSementara itu, peralihan beransur-ansur kepada subsidi yang lebih bersasar akan membantu subsidi berfungsi dengan lebih baik terhadap isi rumah berpendapatan rendah,\u201d katanya dalam taklimat media mengenai Pemantauan Ekonomi Malaysia terkininya bertajuk \u2018Expanding Malaysia\u2019s Digital Frontier\u2019 di Kuala Lumpur.\nMengenai jangkaan pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun 2023, Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Yasuhiko Matsuda, menyatakan bahawa ekonomi negara ini dijangka berkembang 4.0% tahun ini di walaupun jangkaan permintaan luaran yang perlahan. Pakar ekonomi itu menambah walaupun ekonomi dunia berkembang perlahan, Malaysia tidak mungkin mengalami kemelesetan pada tahun ini.\nEkonomi negara masih kukuh dengan pasaran pekerjaan bertambah baik dan keadaan politik juga bertambah baik. \u201cWalaupun ekonomi global dijangka perlahan, Malaysia berada dalam kedudukan baik untuk mencatatkan pertumbuhan meskipun dijangka lebih perlahan berbanding pertumbuhan kukuh di luar jangkaan tahun lalu yang dijangka sekitar 8.0%. \u201cPrestasi kukuh pada tahun 2022 sebahagiannya dipacu oleh pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menyumbang kepada penggunaan swasta yang tinggi di Malaysia berbanding negara lain,\u201c jelasnya." "Belanjawan 2023 Memfokuskan Pemacuan Pertumbuhan Ekonomi dan Keutamaan Rakyat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa Belanjawan 2023 akan mengambil kira cabaran ekonomi semasa tetapi boleh memacu pertumbuhan negara, menarik pelaburan ke dalam negara serta memberi rahmah kepada rakyat Malaysia.\nDatuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Menteri Kewangan menambah kerajaan mahu memberikan mesej jelas bahawa penyediaan belanjawan berkenaan bukan sahaja mengambil kira kedudukan ekonomi mencabar, tetapi sesuatu yang boleh memacu pertumbuhan serta meyakinkan pelabur. \u00e2\u20ac\u0153Ini satu cabaran yang sangat rumit di mana kita boleh meyakinkan golongan kaya untuk melabur dan kumpulan miskin mendapat faedah kerana kadang-kadang ada pembenturan idea. Jadi, dasar perimbangan penting kerana asas dalam al-Quran.\nDalam perkembangan sama, beliau menambah bahawa fokus kerajaan ketika ini bukan melibatkan soal kaum atau daerah, tetapi terarah kepada kumpulan rakyat. \u201cFokus kita bukan soal kaum atau daerah. Fokus kita adalah rakyat. Saya tidak mahu boleh tidur nyenyak jika rakyat merasa tersisih dan tidak dipedulikan oleh pemimpin negara,\u201c katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Kewangan hari ini.\nPada akhir ucapanya, beliau menitip pesan agar semua pihak diingatkan supaya tidak terpukau dengan angka penurunan statistik kemiskinan, sebaliknya perlu sedaya upaya mencari jalan untuk memberi sedikit keselesaan kepada golongan miskin. Turut hadir dalam perhimpunan berkenaan adalah Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim." "Pelantikan Lima Individu Pakar Ekonomi sebagai Penasihat Khas PM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Perdana Menteri (PM) Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya dalam media sosial Instagram rasmi beliau semalam, memaklumkan pelantikan lima individu yang akan menganggotai badan penasihat khas bagi membantu menasihati beliau selaku Menteri Kewangan.\nBadan penasihat khas ini terdiri daripada golongan profesional serta pakar ekonomi dan akan diketuai oleh Penasihat Petronas, Tan Sri Hassan Marican. Selain Tan Sri Hassan, badan penasihat khas ini akan dianggotai oleh Pengerusi Eksekutif FVSB, Dato\u2019 Ahmad Fuad Md Ali,\u00a0 Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Profesor Dr. Yeah Kim Leng, Profesor Ekonomi Universiti Malaya, Dato\u2019 Profesor Ulung Rajah Rasiah dan Pengerusi Sarawak Energy Berhad, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi.\nBeliau mengulangi pendirian bahawa badan penasihat khas yang dilantik ini tidak akan menerima sebarang bayaran daripada kerajaan.\nTindakan\u00a0 yang sama turut dilakukan oleh beliau sebelum ini apabila beliau melantik Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, yang juga anaknya, Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada PM tanpa menerima apa-apa bayaran, yang berkuat kuasa pada 3 Januari lalu.\nSumber gambar: Facebook rasmi YAB Perdana Menteri" "Sektor Pembinaan Menunjukkan Pemulihan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Jabatan Perangkaan Malaysia menjelaskan bahawa 2022 merupakan tahun sektor pembinaan menunjukkan pemulihan sebanyak 8.8% selepas mengalami trend penurunan selama dua tahun.\nKetua Perangkawan Malaysia, Dato\u2019 Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata dalam laporannya berkata bahawa semua subsektor meningkat pada tahun 2022 dengan pertumbuhan dua angka direkodkan dalam aktiviti perdagangan khas, iaitu sebanyak 19.6% manakala bangunan bukan kediaman pula sebanyak 18.7%.\n\nTambah beliau lagi, subsektor kejuruteraan awam dan bangunan menunjukkan pertumbuhan positif masing-masing sebanyak 2.7% dan 3.4%. Walau bagaimanapun, jumlah nilai kerja pada tahun 2022 lebih rendah, iaitu RM121.9 bilion berbanding \u00a0sewaktu tempoh prapandemik pada 2019 yang berjumlah RM146.4 bilion.\nSektor pembinaan juga menunjukkan prestasi yang memberangsangkan pada suku tahun keempat 2022 dengan nilai kerja selesai sebanyak 15.71% selepas berkembang kukuh sebanyak 23.2% pada suku ketiga tahun 2022. Subsektor kejuruteraan awam, bangunan bukan kediaman dan aktiviti perdagangan khas merupakan subsektor yang menunjukkan pertumbuhan pada suku keempat dan didorong oleh pertumbuhan dua digit. Ketua perangkawan itu juga berkata subsektor kediaman juga menunjukkan peningkatan sebanyak 3.5% berbanding tahun sebelumnya.\nJabatan Perangkaan Malaysia menjelaskan bahawa daripada RM302 bilion kerja yang telah dilakukan, 37.9% bersamaan RM12.1 bilion terdiri daripada kejuruteraan awam diikuti dengan bangunan bukan kediaman sebanyak 30.1 peratus bersamaan RM9.6 bilion. Manakala, nilai kerja yang dilakukan dalam bangunan kediaman adalah sebanyak RM7 bilion bersamaan 21.8 peratus dan perdagangan khas pula sebanyak RM3.26 bilion bersamaan 10.2%. Sektor swasta merupakan pendorong utama yang menyumbang kepada pertumbuhan pembinaan pada suku keempat." "Ekonomi Malaysia Mencatatkan Perkembangan 7.0 Peratus\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Ekonomi Malaysia secara keseluruhannya menunjukkan perkembangan sebanyak 8.7% pada tahun 2022. Bank Negara Malaysia(BNM)\u00a0 dalam satu kenyataannya menjelaskan bahawa perkembangan ekonomi Malaysia pada suku keempat tahun 2022 dilihat lebih perlahan, iaitu sebanyak 7.0% susulan daripada sokongan langkah-langkah rangsangan dan kesan asas rendah yang berkurang.\nWalau bagaimanapun, pertumbuhan ini masih melebihi purata pertumbuhan jangka panjang, iaitu sebanyak 5.1% BNM juga menyatakan bahawa sektor swasta merupakan pendorong utama yang menyebabkan berlakunya pertumbuhan ekonomi tersebut dan kemudian disokong oleh penggunaan dan pelaburan swasta. Penggunaan swasta juga terus meningkat dan telah didorong oleh keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik.\n\u201cPertumbuhan keseluruhan eksport menjadi sederhana sejajar dengan permintaan luaran yang semakin lemah namun telah diimbangi oleh prestasi eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) yang berdayaa tahan.\u201d Demikian kenyataan yang diberikan oleh BNM semasa mengupas isu ini. Sektor perkilangan dan perkhidmatan merupakan sektor yang telah mendorong kepada pertumbuhan ekonomi.\nNamun begitu, ekonomi telah mencatatkan penurunan sebanyak 2.6% pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim. Inflasi keseluruhan dilihat menjadi sederhana kepada 3.9% pada suku keempat tahun 2022. Penurunan tersebut disebabkan oleh luputnya kesan asas inflasi elektrik yang menjadi penyumbang utama terhadap inflasi yang lebih tinggi pada suku ketiga tahun 2022.\nMenurut BNM lagi, harga komoditi\u00a0 utama juga menunjukkan trend penurunan kerana inflasi yang lebih rendah bagi beberapa barangan berdasarkan Indeks Harga Pengguna (IHP) termasuklah bahan api. Inflasi bagi beberapa bahan makanan ruji utama seperti telur, daging segar juga menjadi sederhana pada suku tersebut.\nWalau bagaimanapun, sebahagian kesan penurunan daripada faktor ini telah diimbangi oleh inflasi teras yang lebih tinggi. Inflasi teras juga meningkat kepada 4.2% \u00a0daripada 3.7% pada suku ketiga tahun 2022 yang didorong oleh permintaan yang terus kukuh dalam keadaan persekitaran kos yang dilihat masih tinggi.\nInflasi keseluruhan mencatatkan peningkatan kepada 3.3% berbanding dengan kadar pada tahun sebelumnya. Purata inflasi teras pula ialah 3.0%\u00a0 lebih tinggi berbanding dengan tahun 2021, iaitu 0.7%." "HASiL Umum Penyediaan dan Penyerahan Penyataan Saraan EA dan EC Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) menerusi kenyataan media yang dikeluarkannya pada hari ini ingin menarik perhatian majikan berhubung tanggungjawab menyediakan dan menyerahkan penyata saraan EA (sektor swasta) dan EC (sektor kerajaan) pekerja bagi tahun 2022 kepada pekerja sebelum atau pada 28 Februari 2023.\nPerkara ini menjadi kemestian kepada majikan mengikut peruntukan subseksyen 83 (1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) untuk menyerahkan penyata saraan EA dan EC ini setiap tahun mengikut tarikh yang ditetapkan bagi membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) kepada HASiL dalam tempoh yang ditetapkan.\nJusteru, para majikan boleh mencapai Nota Penerangan E 2022 melalui Portal HASiL www.hasil.gov.my atau pautan pantas seperti berikut: https://www.hasil.gov.my/media/csthpo0v/nota_penerangan_e2022.pdf\nUntuk sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan perkara ini boleh dimajukan melalui:\na) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);\nb) HASiL Live Chat; dan\nc) Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas\nhttps://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/public." "Pelan Pembangunan Ekonomi Melayu dan Bumiputera Melonjak Pembangunan Ekonomi Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dalam usaha melahirkan ekosistem ekonomi yang seimbang dan efektif, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mengadakan satu sesi perbincangan bersama-sama para pemain industri dan agensi kerajaan untuk menyediakan Pelan Pembangunan Ekonomi Melayu dan Bumiputera, petang ini.\nSesi perbincangan ini merupakan satu daripada pengisian Program Retreat Hala Tuju dan Pelan Cadangan Tindakan Ekonomi anjuran DPMM. Program yang berlangsung selama tiga hari itu berlangsung di Anjung Melayu, Jalan Bukit Petaling, Kuala Lumpur melibatkan para pemegang taruh ekonomi Melayu dan Bumiputera.\nObjektif utama sesi perbincangan tersebut adalah untuk mendapatkan pandangan pemain industri dan agensi yang berkaitan tentang permasalahan ekonomi Melayu dan Bumiputera, seterusnya merangka draf strategi jangka pendek dan panjang yang jelas serta spesifik untuk dibawa kepada pertimbangan pihak Kerajaan Malaysia. Hal ini sejajar dengan usaha untuk melahirkan usahawan Melayu dan Bumiputera yang berdaya saing, sekali gus merapatkan jurang pendapatan yang dilihat semakin ketara.\nDalam sesi perbincangan itu, beberapa pendekatan digunakan bagi merangka model perniagaan baharu. Antaranya termasuklah memberikan penekanan terhadap keupayaan inovasi dan penciptaan, serta pengurusan rantaian bekalan agar selari dengan perkembangan teknologi dan peralihan masa. Pelan Pembangunan Ekonomi Melayu dan Bumiputera ini dijangka dapat membantu para usahawan mendepani cabaran semasa dan melonjakkan ekonomi Melayu dan Bumiputera.\nSesi perbincangan yang berlangsung selama dua jam itu dihadiri oleh beberapa wakil pemain industri utama negara, antaranya termasuklah pihak Petronas, UDA Holdings Berhad, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu dan usahawan minyak dan gas tempatan. \u00c2\u00a0Yang turut hadir ialah wakil agensi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Jabatan Kerja Raya." "Harga Simen dan Besi Terus Catat Peningkatan pada Januari 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMenurut Trading Economics, harga besi dijangka akan meningkat disebabkan oleh pemulihan aktiviti kilang China pada Januari selepas penguncupan tiga bulan berturut-turut seperti yang dilaporkan oleh The China National Bureau of Statistics Manufacturing Purchasing Manager Index. Selain itu, penamatan dasar sifar COVID-19 di China dan pelbagai inisiatif untuk merangsang aktiviti pembinaan dijangka memperkukuh sektor hartanah dan permintaan perumahan. Jangkaan ini seterusnya akan meningkatkan permintaan untuk input pembinaan dan perindustrian yang menggunakan bahan daripada bijih besi dan besi." "Inisiatif Kerajaan Bantu Rakyat Kurangkan Tekanan Kos Sara Hidup\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Menu Rahmah yang baharu sahaja diperkenalkan merupakan salah satu inisiatif peniaga bagi membantu golongan yang memerlukan. Walau bagaimanapun, inisiatif itu bukanlah penyelesaian yang tepat bagi tempoh jangka masa yang panjang. Perkara ini turut dijelaskan oleh Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Mohd Dali selaku penganalisis ekonomi dari Universiti Sains Islam Malaysia dalam temubual rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran RTM baru-baru ini.\nBeliau menjelaskan inisiatif itu merupakan satu langkah yang baik untuk membantu mengurangkan tekanan kos dalam jangka masa pendek. Walau bagaimanapun, pihak berwajib perlu memberikan penekanan penyelesaian jangka masa panjang. Pengenalan inisiatif itu dikhuatiri akan memberikan kesan negatif khususnya kepada golongan peniaga kerana mereka perlu menyerap kos. Oleh itu, beliau menyentuh tentang isu kenaikan gaji di Malaysia. Dapatan kajian mendapati bahawa harga barang akan naik seiring dengan kenaikan gaji. Tambahan pula, kadar kenaikan gaji di Malaysia pula tidak tinggi dan keadaan itu telah memberikan kesan kepada kos sara hidup.\nMenjelang hari pembentangan belanjawan bagi tahun 2023, beliau turut mengutarakan beberapa cadangan iaitu menggalakkan generasi muda untuk menceburi bidang pertanian moden. Pihak kerajaan boleh menyediakan bantuan dana dan latihan kepada mereka untuk menceburi industri itu. Kita dapat menyelesaikan masalah sekuriti makanan dalam negara dan dapat memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan." "Generasi Keliru Mengenal Bahasanya Sendiri?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMutakhir ini kita seringkali kita mendengar ungkapan seperti \u201cHai \u00a0guys, apa khabar, u all sihat tak?,\u201d \u201cAkum, bley x awak say something about topik tadi,\u201d \u201ctu dia anak depa speaking, berhabuk terus\u201d, \u201cpeduli haper sayer,\u201d tak gitew,\u201d dan \u201cgilerr lah\u201d. Inilah\u00a0 antara frasa yang popular dan meniti di bibir sebahagian masyarakat Malaysia. Tidak dinafikan bahasa rancu ini diraikan oleh segelintir masyarakat bagi menggambarkan nilai komersial dan gaya sofistikated penuturnya selain menunjukkan ketinggian status sosialnya.\nSenario ini dianggap normal semasa berinteraksi antara dua atau lebih individu berbanding dengan menggunakan bahasa Melayu standard yang terikat dengan hukum bahasa. Tanpa disedari, kelaziman penggunaan bahasa rancu dalam pertuturan seharian akan turut memberikan kesan pada stail penulisan yang kurang bermutu kerana golongan ini lebih mementingkan bahasa yang santai dan mempunyai daya tarikan berbanding dengan fokus pada mutu bahasa.\nKerancuan bahasa bukanlah suatu topik yang baharu untuk dibincangkan kerana sebelum ini sudah banyak sarjana yang berdiskusi tentang isu ini sama ada dalam penulisan ilmiah, penulisan popular dan juga pembentangan di majlis penting bahasa Melayu. Penulisan secara repetisi ini bukanlah untuk mencari kesalahan semata-mata dan menjatuhkan hukuman kepada penggemar bahasa rancu tetapi adalah untuk memastikan bahasa Melayu digunakan dengan betul serta kekerapan perbincangan tersebut adalah untuk mengingatkan masyarakat agar kembali kepada praktikal standard bahasa yang telah ditetapkan. Perkembangan bahasa rancu yang pesat dibimbangi akan melahirkan generasi yang tidak celik bahasa dan hilang jati diri bangsa.\nKerancuan bahasa dapat dikaitkan dengan percampuran kod atau yang juga disebut oleh Hishamudin Isam dan rakannya pada tahun 2018 sebagai ketidaktenteraman suasana linguistik standard kerana menyalahi hukum bahasa yang bukan sahaja dapat dikesan melalui komunikasi lisan tetapi juga pada pengiklanan dan papan tanda perniagaan yang tujuannya adalah untuk menyampaikan maklumat dengan jelas dan menarik kuasa beli pengguna.\nUngkapan pengiklanan seperti \u201cAnda ingin miliki kulit flawless?\u201d, tulisan pada papan tanda premis perniagaan seperti Dobi Family adalah antara bahasa rancu yang dikenal pasti digunakan oleh pemilik perniagaan sebagai tanda nama dan maklumat perniagaan. Selain itu, penggunaan loghat setempat juga dikesan digunakan pada papan tanda perniagaan. Masitah Muhammadin dan rakan pada tahun 2018 telah melakukan kajian tentang penggunaan papan tanda premis perniagaan di Terengganu, yang menemui penggunaan loghat Terengganu seperti Restoran Makang Sekak-sekak Nok bagi menarik pelanggan.\nDalam menangani isu ini, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengorak langkah drastik dan penuh dinamis telah membangunkan laman web DBP Sah Bahasa yang dapat dilayari di https://dbpsahbahasa.my. Dengan slogan \u201cGunakan Bahasa dengan Betul\u201d, DBP menyediakan khidmat semakan dan pengesahan bahasa Melayu untuk pengiklanan sama ada bagi cetakan ataupun elektronik, papan tanda perniagaan untuk permohonan lesen kepada pihak Pihak Berkuasa Tempatan, penamaan nama bangunan, tempat awam dan jalan serta dokumen rasmi dan umum. Selain itu, untuk keselesaan ramai, DBP juga telah membuka kaunter khidmat kepada masyarakat yang mula beroperasi pada 27 Disember 2021. Tujuan dua saluran ini adalah berpusat, iaitu untuk memartabatkan bahasa Melayu.\nKetidaktekalan dari segi frasa, kosa kata, ejaan dan istilah ini juga berlaku dalam aplikasi teknologi yang berperanan sebagai pemudah cara dalam mengeratkan hubungan tanpa sempadan. Dalam komunikasi tulisan di WhatsApp, Facebook, Twitter, dan Telegram, kelihatan pengguna begitu selesa dan sewenang-wenangnya menggunakan bahasa rancu tanpa kawalan.\nMedium ini telah memberikan ruang pada pengembangan variasi bahasa dan dapat diumpamakan sebagai gedung pengumpulan kerancuan bahasa. Antara contoh kerancuan bahasa dalam medium teknologi ini termasuklah seperti \u201cSalam. Ada yg boleh sharekan nombor ticer taska taman ABC?,\u201d dan \u201cAku salute gaya berani mati lu.\u201d Fuzirah Hashim dan rakan pada tahun 2017 juga memberikan contoh kerancuan bahasa dalam medium teknologi ini seperti \u201cSpe x isi x dpt sijil. tulis name korg at the end of your opinion\u201d.\nUntuk makluman, DBP telah mengusahakanl pelbagai rancangan pemantapan bahasa Melayu seperti memperbanyak istilah, melakukan pembaharuan ejaan dan pemantapan perkamusan Melayu sehingga terbitnya Kamus Dewan Perdana pada tahun 2020 bagi memastikan bahasa Melayu sentiasa relevan dan seiring dengan arus globalisasi serta berkeupayaan menjadi rujukan utama pelbagai bidang.\nHal ini merupakan antara penyelesaian dalam menangani isu kerancuan bahasa yang dapat menjejaskan pembinaan negara bangsa. Selain itu, badan berwajib seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia juga perlu mengambil pendekatan tegas bagi memastikan kerancuan bahasa tidak berlaku di media sosial dan juga dalam industri kreatif terutamanya yang melibatkan skrip lakonan filem dan drama televisyen. Walaupun situasi ini nampak mustahil tetapi jika diusahakan dengan serius akan beroleh kejayaan.\nFenomena kerancuan bahasa juga berlaku kerana keupayaan berbahasa oleh masyarakat majmuk di Malaysia semakin berkembang. Kehadiran gelombang migrasi ke Malaysia adalah antara faktor penyebab berlakunya pertembungan bahasa, adat dan budaya dengan masyarakat tempatan. Suatu perkara yang perlu diakui kebenarannya ialah pertembungan tersebut memberikan kebaikan kepada masyarakat dengan menguasai multibahasa yang mampu meluaskan jaringan sosial, memudahkan perbincangan politik dan melancarkan urusan perdagangan antarabangsa.\nBahasa Melayu yang bersifat dinamik tidak menolak penggunaan bahasa asing malahan menerima dan menyerap masuk bahasa tersebut sebagai kata pinjaman untuk memperkaya perbendaharaan kata. Namun begitu, di sebalik penerimaan tersebut, janganlah pula kita bertindak serampangan dengan melakukan kerosakan pada struktur, gaya dan tatabahasa bahasa Melayu yang telah mantap. Masyarakat perlu peka bahawa bahasa asing hanyalah bahasa tambahan dan tidak bertindak mengesampingkan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan utama.\nSekiranya isu ini tidak dibendung dengan cekap dan telus akan mampu menenggelamkan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan. Apabila penguasaan terhadap bahasa Melayu standard semakin lemah, maka semakin longgarlah semangat jati diri masyarakat Malaysia. Perkara ini bukanlah suatu perkara yang remeh dan hanya menganggap pejuang nasionalisme bahasa sahaja yang bertanggungjawab memperjuangkannya atau sekadar berpendapat bahawa isu ini adalah masalah linguistik yang boleh diatasi dalam perbincangan meja bulat pakar bidang sahaja.\nSeharusnya masyarakat perlu mencermati isu ini bersama-sama dan berjiwa besar dalam mempertahankan bahasa Melayu standard serta tidak mengagungkan bahasa yang rancu. Adakah kita ingin melihat negara ini mempunyai bahasa yang cacamarba dan tidak memiliki identiti bahasa sendiri? Atau bersediakah kita menghadapi generasi yang keliru mengenal bahasanya sendiri? Tepuk dada tanyalah selera.\nSlogan \u201cBahasa Jiwa Bangsa\u201d yang telah dicipta sejak tahun 1952 dengan menekankan bahasa sebagai milik mutlak sesuatu bangsa dan menjadi identiti kebangsaan selain digunakan sebagai alat komunikasi, perpaduan untuk saling memahami dan bahasa ilmu sesuatu bangsa boleh terhalang dengan adanya pengaruh kerancuan bahasa dalam masyarakat. Slogan yang sudah sebati di halwa telinga dan begitu erat dengan DBP, janganlah dibiarkan berkumandang hanya di majlis tertentu seperti sambutan bulan bahasa atau Dekad Bahasa Kebangsaan sahaja. Slogan ini perlu diimplementasikan sepanjang masa.\nLanjutan daripada itu, dapatlah dinyatakan bahawa kerancuan bahasa bukanlah alat yang dapat memupuk perpaduan masyarakat, bukan juga menjadi simbol penilaian bagi ketinggian intelektual individu serta tidak dapat menggambarkan keaslian pemilik bahasanya. Oleh itu, pelbagai pihak perlu bersama-sama menangani masalah ini dengan menekankan penyampaian bahasa Melayu dengan betul dari peringkat sekolah, waima di universiti dan di rumah sekalipun demi memastikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013\u20132025 yang menekankan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar tercapai. Justeru pilihan golongan sofistikated untuk terus mengekalkan penggunaan kerancuan bahasa dalam pertuturan seharian perlulah dikekang dengan menyokong teguh dan berdiri di belakang DBP dalam memperjuangkan bahasa Melayu. Marilah kita bersama-sama berganding bahu memelihara bahasa rasmi kebangsaan seperti yang tercatat dalam\u00a0 perkara 152\u00a0 perlembagaan\u00a0 Malaysia.\nProfesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad \u2212 Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia." "Pelancaran Kempen E-Duit\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Kadar Jangka Pendek Kekal Stabil\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Ejen Pemasar Fama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani \u2013 Seramai 150 pelajar Kolej Komuniti Sungai Petani (KKSP) menjadi kumpulan pertama dipilih bagi menyertai Program New Breed Marketing Enterpreneur (NBME) dengan menjalankan perniagaan secara talian menerusi platform Agrobazaar Online.\nPeserta akan menjadi ejen memasar produk dikeluarkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) yang boleh menjana pendapatan lumayan hingga mencecah lebih RM3000 sebulan melalui program itu. Itu merupakan kali pertama Fama mengadakan kerjasama dengan KKSP bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar. Para peserta perlu mengikuti kursus khas\u00c2\u00a0 sebelum mereka memasarkan produk tersebut.\nTerdahulu, satu perjanjian memorandum persefahaman antara pihak Fama dan KKSP telah berlangsung di Dewan Banquet KKSP. Majlis penyerahan memorandum perjanjian itu dilakukan antara Timbalan Pengarah Fama Negeri Kedah, Yusri Mahat dengan Pengarah KKSP, Sobah Abdul Hamid dengan disaksikan oleh Pengarah Fama Negeri Kedah, Isa Hamzah dan Timbalan Ketua Pengarah (Governan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia, Kamaludin Daud.\nSementara itu, Sobah Abdul Hamid berkata, melalui usaha kali pertama dilakukan antara KKSP dengan Fama ini, program itu boleh memberi banyak kebaikan kepada pelajar setelah dilantik menjadi Ejen Pemasar Fama. Katanya, pelajar yang dipilih perlu menggunakan masa sepenuhnya bagi menjana pendapatan lumayan. \u201cHanya mereka yang aktif dalam online mampu mengejar kejayaan dan yang penting menjadi Ejen Pemasar FAMA yang sentiasa bertanggungjawab. \u201cBanyak cabaran perlu dihadapi dan semua kerja menjadi mudah, sekiranya pelajar pandai menyesuaikan diri di mana-mana sahaja semasa membuat urusan dengan orang ramai,\u201c katanya." "Pertumbuhan Satu Angka Dijangkakan oleh IKEA Malaysia Pada Tahun Kewangan 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kedai peruncit perabot dari Sweden, IKEA \u00a0menjangkakan prestasi kewangan berada dalam keadaan positif iaitu dengan pertumbuhan satu angka pada tahun kewangan 2023 selepas mencatatkan kejayaan luar biasa apabila telah mencapai peningkatan perolehan sebanyak 35% kepada RM 1.54 bilion pada tahun fiskal 2022.\nPengurus Runcit IKEA Malaysia, Malcolm Pruy menyatakan bahawa IKEA akan memberi fokus kepada beberapa cawangannya di Malaysia iaitu IKEA Batu Kawan di Pulau Pinang dan Tebrau di Johor yang bersambung dengan pusat beli belah terkemuka pada tahun ini dan tahun depan. Beliau juga menambah cawangan di Batu Kawan mempunyai potensi yang besar untuk pertumbuhan perniagaan itu kerana lokasi tersebut sedang dalam pembangunan yang pesat dan akan menjadikan cawangan itu sebagai lokasi penumpuan terbesar IKEA yang tinggal di utara Malaysia. \u00a0\u201cIKEA Malaysia juga turut menyasarkan untuk merekodkan prestasi kewangan yang memberangsangkan dengan pertumbuhan satu angka pada tahun kewangan 2023.\u201d\nSempena ulang tahun ke-20 pada tahun ini juga IKEA telah merancang\u00a0 untuk menjadikan jenama itu lebih mudah diakses iaitu dengan menumpukan jualan secara dalam talian. Pada tahun ini, IKEA Malaysia juga turut merancang untuk menambah baik industri hospitaliti ke arah diet yang lebih sihat dengan pelancaran menu yang berasaskan tumbuhan.\nPengurus runcit IKEA Malaysia itu turut menyatakan terdapat perancangan untuk membuka cawangan yang baharu namun tidak akan dilaksanakan sekurang-kurangnya sehingga tahun 2026. Tambah beliau lagi, fokus utama IKEA sekarang adalah untuk memperkasakan jenama itu selain memastikan cawangan yang sedia ada terus diperkukuhkan." "180 000 Pekerja Asing Diperlukan dalam Sektor Pertanian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013\u00a0 Timbalan Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Chan Foong Hin \u00a0menyatakan bahawa kira-kira 180 000 tenaga kerja asing diperlukan untuk mengisi kekosongon dalam sektor pertanian di seluruh negara.\nSeramai 3000 orang pekerja asing telah didaftarkan untuk mengisi kekosongan di sektor tersebut menerusi Prorgram Rekalibrasi. Beliau menambah sasaran MAFS adalah untuk menutup jurang yang sangat besar supaya isu kekurangan pekerja dapat diatasi dan keperluan di sektor pertanian dapat dipenuhi. Walaupun memerlukan kira-kira 180 000 tenaga kerja asing, MAFS\u00a0 telah memberikan peluang terlebih warga tempatan telah diberikan peluang untuk mengisi keperluan sumber manusia dalam sektor ini sebelum dibuka kepada orang luar.\nTimbalan Menteri itu menjelaskan bahawa pihak beliau dengan beberapa kementerian dan agensi seperti Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Imigresen sedang bekerjasama\u00a0 untuk menangani isu dan memenuhi keperluan sektor pertanian negara. Tambahan beliau lagi, pelan kelonggaran penggajian pekerja asing itu akan dibuka kepada lima sektor iaitu perkilangan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran). Hal ini kerana kelima-lima sektor\u00a0 pekerjaan ini\u00a0 kritikal dan memberikan kesan langsung kepada peningkatan ekonomi negara.\nPihak industri mempunyai alternatif menerusi pelan yang dicadangkan oleh MAFS untuk mendapatkan sumber tenaga kerja dalam sektor pertanian dan seterusnya dapat membantu mereka untuk menambah lagi pengeluaran hasil. Beliau berkata pengeluaran hasil itu juga memberikan impak yang besar terhadap imbangan perdagangan dan akan menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara serta agenda sekuriti makanan negara.\nUjarnya, objektif utama MAFS tidak menjadikan pengambilan pekerja asing sebagai objektif utama mereka. Namun, objektif utama MAFS adalah untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang lumayan dan cukup untuk warga tempatan serta menarik minat generasi muda. Beliau juga menjelaskan bahawa pengambilan pekerja asing merupakan penyelesaian untuk jangka pendek sahaja. Pada jangka masa yang panjang, MAFS melihat minat sejauh mana generasi muda ini melibatkan diri dalam sektor pertanian kerana sektor itu mempunyai masa depan yang luas." "UniSZA dan SME Bank Berganding Bahu Memperkasakan Bidang Keusahawanan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Perkembangan Teknologi Digital Pacu Pembangunan Masyarakat Setempat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat merasmikan majlis penutupan program seminar keusahawanan yang turut dilaksanakan secara dalam talian (webinar) kali ke-18 di bawah Program \u2018Women In Search of Excellence (WiSE) bertemakan \u201cJourney To The Top\u201c di Dewan Bakawali Mes Pegawai Kanan PDRM Perlis, Jalan Raja Muda, Kangar.\nKeberangkatan baginda ke program itu sehari suntuk disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanan MARA Datuk Zulfikri Osman dan Pengarah MARA Negeri, Mohd Azam Jamaluddin. Program itu yang merupakan usaha sama antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF). Turut diadakan ialah lawatan ke reruai pameran MARA, tayangan multimedia merangkumi aktiviti seminar dan simbolik perasmian penutupan, tayangan montaj, pengurniaan empat Sijil Usahawan MARA dan persembahan \u201cMARA In Fashion\u201c.\nRaja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku penasihat YTF menitahkan bahawa perkembangan teknologi digital terkini telah membawa kepada perubahan dalam model perniagaan sedia ada dan penciptaan baharu, pengenalan produk dan perkhidmatan baharu, serta peningkatan kecekapan dalam proses perniagaan yang akhirnya menjadikan perniagaan lebih berdaya saing.\nBaginda turut bertitah peralihan ekonomi sedia ada kepada ekonomi digital amat penting dalam mempercepakan pertumbuhan ekonomi setempat dan nasional dengan tenaga penggerak kebanyakannya terdiri daripada usahawan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Ekonomi digital juga mampu mewujudkan pelbagai peluang perniagaan serta pekerjaan, sekali gus meningkatkan pendapatan rakyat secara menyeluruh, termasuk kawasan luar bandar." "Gangguan Sistem Percukaian HASiL\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSelaras dengan usaha menambah baik mutu serta kualiti perkhidmatan percukaian dalam talian, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin memaklumkan bahawa sistem percukaian akan mengalami gangguan berikutan kerja-kerja menaiktaraf komponen elektrikal seperti jadual yang berikut:\n\u00a0\n10.00 malam\n6.00 pagi\n\u00a0\nHASiL amat memahami masalah yang mungkin timbul sekali gus ingin memohon maaf kepada pembayar cukai atas sebarang kesulitan yang terpaksa dihadapi berikutan pengumuman gangguan perkhidmatan ini. Sokongan dan kesabaran para pembayar cukai bagi membolehkan HASiL melaksanakan aktiviti penyenggaraan ini yang dijangka memberi nilai tambah kepada perkhidmatan percukaian amat dihargai. Walau bagaimanapun, para pembayar cukai masih boleh mendapatkan maklumat percukaian melalui Portal Rasmi HASiL melalui pautan https://www.hasil.gov.my/.\nSebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada kami\nmelalui:" "Maybank Asset Management Lancar Dana Baharu Bantu Rakyat Malaysia Merancang Persaraan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Maybank Asset Management Sdn. Bhd. melancarkan Dana Maybank Global Conservative-I pelbagai aset patuh syariah untuk menawarkan perancangan persaraan fleksibel bagi menjamin kestabilan kewangan kepada pelabur.\nDana itu merupakan sebahagian daripada Dana Maybank Global Wealth Moderate-I dan Dana Maybank Global Wealth Growth-I yang ditawarkan di bawah Maybank Flexible Retirement Solution yang telah dilancarkan pada tahun lalu. Dana itu disasarkan untuk mencapai pengagihan pendapatan sebanyak 7% setahun. Baki aset akan terus dilaburkan untuk memperoleh pulangan dan memberikan peluang kepada pelabur bagi meningkatkan tabung persaraan.\nKetua Pegawai Eksekutif Maybank Asset Management Malaysia, Ahmad Muzni Mohamed menyatakan kebimbangan beliau terhadap perancangan persaraan di negara ini. Beliau juga melihat kepentingan untuk memupuk masyarakat bagi menambah tabung persaraan sedia ada seawalnya bagi memastikan kewangan persaraan berada dalam keadaan selamat. Tambah beliau lagi, dana itu memberikan pilihan tahap risiko yang ingin diambil oleh pelanggan sambal menikmati fleksibiliti bagi menentukan hala tuju persaraan, menepati matlamat dan keperluan hidup masing-masing.\nSelain itu, dana itu juga dapat menambah pendapatan pelabur selepas bersara dengan menyediakan pembayaran pendapatan yang lebih tinggi. Situasi itu dapat membantu mereka dalam aspek kestabilan pendapatan dan perlindungan simpanan untuk jangka panjang, memberikan ketenangan untuk meneruskan kehidupan berkualiti tanpa rasa bimbang soal kewangan." "Econsave Buka Cawangan ke-91\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Mahir Berbahasa dengan Menguasai Tatabahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2212 Penggunaan bahasa yang tidak tepat akan memberikan gambaran tidak betul kepada pelajar bahawa bahasa itu tidak sebegitu penting. Oleh itu, perlu ada satu panduan tentang ketepatan\u00a0berbahasa bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan pelajar ketika mempelajari dan menguasai tatabahasa yang menggunakan bahasa Melayu mengikut standard bahasa yang betul dan tepat.\nEncik Muhammad Norrudin Abdul Aziz ketika mengupas buku tulisannya bersama-sama Encik Mat Ariffin Ismail, yang berjudul Kuasai Tatabahasa Mengikut Standard Pembelajaran terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka mengatakan bahawa buku ini mengandungi pelbagai latihan bahasa Melayu dalam pelbagai aras dan membincangkan aspek bahasa dalam kurikulum sekolah rendah termasuklah golongan kata dalam bahasa Melayu.\nSetiap golongan kata terbahagi pada beberapa jenis dan setiap jenis pula terbahagi pada subkata seperti kata nama yang terdiri daripada kata tugas; kata nama seperti kata nama am dan kata nama khas; kata kerja seperti kata kerja aktif dan kata kerja pasif; dan kata adjektif atau kata sifat.\nMenurutnya lagi, penjodoh bilangan pula berfungsi sebagai pembantu kata bilangan dan pemadan kata nama. Pelajar biasanya mengalami kekeliruan dalam penggunaannya disebabkan oleh kekeliruan pada konteks kata nama.\nBentuk kata pula merupakan rupa bagi sesuatu kata dan terbahagi pada empat golongan, iaitu kata tunggal, kata ganda, kata majmuk dan kata imbuhan.\nTambahnya lagi, antara kesalahan yang sering dilakukan oleh pelajar ialah pengguguran imbuhan dan penggunaan imbuhan yang tidak tepat. Selain itu, pelajar juga sering kali menjadi keliru dalam penulisan kata ganda dan kata majmuk. Kesalahan dan kekeliruan dalam kalangan pelajar ini kerap berlaku dari dahulu lagi. Antara faktornya termasuklah masyarakat majmuk yang menggunakan pelbagai bahasa untuk berkomunikasi seperti penggunaan bahasa ibunda mengikut kaum dan juga dialek.\nContohnya, bagi penutur yang terdiri daripada kaum Cina, mereka sudah sebati dengan bahasa ibunda mereka, iaitu bahasa Mandarin. Oleh itu, apabila mereka ingin bercakap menggunakan bahasa Melayu, pemerolehan struktur bahasa itu menjadi berbeza. Hal ini demikian kerana kebanyakan penutur ini sudah biasa menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa harian mereka untuk berkomunikasi dan sudah menjadi sebati dalam diri mereka.\nFaktor kedua pula ialah pengaruh bahasa asing yang menyebabkan berlakunya kecelaruan struktur bahasa, iaitu tidak mengikut struktur bahasa Melayu yang betul.\nSelain itu juga berlaku ketidakpekaan masyarakat mengenai peraturan bahasa dalam pelbagai sumber seperti media cetak, media massa dan sebagainya.\nOleh itu, semua pihak perlu menguasai bahasa dengan menguasai tatabahasa. Pengguna bahasa juga perlu menanam sikap mencintai bahasa Melayu dan perlu sentiasa mengangkat martabat bahasa Melayu. Sehubungan dengan itu, slogan \u201cBahasa Jiwa Bangsa\u201c perlu diterapkan dalam diri masyarakat untuk mengeratkan perpaduan pelbagai kaum dalam masyarakat negara ini.\nMenurut beliau lagi, antara kelebihan buku ini termasuklah mengandungi banyak gambar sebagai rangsangan khususnya kepada murid Tahun 1 dan Tahun 2 yang lemah dalam tatabahasa. Buku ini juga dihasilkan untuk memudahkan para pelajar memahami tatabahasa mengikut standard pembelajaran terkini.\nDemikianlah penerangan menarik daripada Encik Muhammad Norrudin Abdul Aziz (Guru Bahasa Melayu) menerusi Rancangan \u201cBicara Karyawan: Kuasai Tatabahasa Mengikut Standard Pembelajaran\u201d menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP yang bersiaran pada pukul 10.00 pagi tadi." "HASiL: Tidak Dapat Bercuti ke Luar Negara Jika Ada Tunggakan Cukai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Jika ada individu atau syarikat yang mempunyai tunggakan cukai yang tidak dijelaskan kepada kerajaan, mereka tidak dapat bercuti ke luar negara. Hal ini dimaklumkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memandangkan ibu bapa akan mula merancang percutian keluarga pada cuti persekolahan yang bermula pada 16 Februari 2023.\nPihak HASiL menyarankan agar semua pembayar cukai menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan masing-masing sebelum membuat perancangan untuk ke luar negara.\nMengikut Seksyen 104 dan 75A Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 (ACKHT 1976), HASiL diberi kuasa untuk menghalang mana-mana individu daripada meninggalkan Malaysia jika mereka atau syarikat mereka tidak melunaskan tunggakan cukai kepada kerajaan.\nPemakluman tindakan tersebut akan diposkan ke alamat terakhir yang dikemas kini oleh pembayar cukai kepada HASiL melalui data percukaian terkini yang direkodkan.\nSehubungan dengan itu, pembayar cukai boleh membuat semakan status tunggakan cukai mereka melalui portal MyTax, manakala semakan sekatan perjalanan boleh dibuat di laman web rasmi Jabatan Imigresen Malaysia.\nSekiranya pembayar cukai mempunyai tunggakan dan dikenakan sekatan perjalanan, mereka boleh membuat pembayaran atau menghubungi pejabat HASiL yang mengendalikan fail cukai mereka untuk tujuan rundingan bayaran ansuran bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan ke luar negara.\nBagi tujuan pembayaran tunggakan cukai pendapatan, bayaran cukai boleh dibuat melalui portal MyTax melalui Perkhidmatan ByrHASiL, mana-mana portal perbankan internet bank komersial yang dilantik oleh HASiL, mana-mana mesin deposit tunai bank lantikan HASiL, atau mana-mana kaunter bank lantikan HASiL.\nSebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh terus menghubungi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 (dalam negara)/603-8911 1100 (luar negara) atau di Borang Maklum Balas HASiL." "Faktor Kenaikan Gaji Menunjukkan Nilai Positif terhadap Ekonomi Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 \u201cKenaikan gaji satu hingga\u00a0 20 peratus perlu dilaksanakan oleh majikan berdasarkan kemahiran, kelulusan dan pengalaman pekerja.\u201c\nDemikian kenyataan Dato\u2019 Wira Haji Mahfuz Omar, mantan Timbalan Menteri Sumber Manusia. Menurut beliau, jika gaji yang dibayar kepada pekerja setimpal dengan kemahiran yang dimiliki, produktiviti sesebuah syarikat akan meningkat dan memberikan keuntungan serta pulangan yang lebih baik kepada majikan.\nUjarnya, sebahagian besar majikan di Malaysia tidak membayar gaji para pekerja mereka berdasarkan kredibiliti pekerja dan hanya akur pada syarat gaji minimum. Beliau berpendapat bahawa majikan perlu mengambil kira kemahiran, kelulusan dan pengalaman yang dimiliki oleh pekerja apabila gaji dinaikkan lebih daripada kadar gaji minimum. Beliau percaya bahawa syarikat- syarikat besar atau majikan di Malaysia ini mempunyai teknologi yang canggih dan mampu merealisasikan pelarasan gaji antara tiga hingga 20 peratus.\nJika seseorang pekerja dalam syarikat memenuhi kriteria yang disebutkan, maka majikan perlu menaikkan gajinya walaupun tidak sampai 20 peratus peningkatannya.\nUlasnya lagi, kementerian hanya boleh menguatkuasakan kadar gaji minimum dan memberikan garis panduan kepada majikan sahaja. Sekiranya ekonomi Malaysia beransur pulih, gaji para pekerja harus turut dinaikkan. Dengan kenaikan tersebut akan memberikan kesan positif terhadap ekonomi negara.\nLaporan pasaran pekerjaan dan trend gaji\u00a0 2023 yang diterbitkan oleh Randstand mencatatkan bahawa peningkatan\u00a0 kos sara hidup dan inflasi di Malaysia akan memberikan impak terhadap kemampuan untuk membeli barang keperluan serta gaya hidup.\nOleh itu, pelarasan gaji antara tiga hingga 20 peratus perlu diberikan kepada para pekerja bergantung kepada industri. Industri pertumbuhan tinggi seperti teknologi dan pembuatan bakal menyaksikan perubahan yang lebih besar dalam penstrukturan gaji dalaman.\nKenaikan gaji pekerja bukanlah berpunca daripada pengurangan dalam permintaan pengambilan pekerja baharu. Datuk Wira Haji Mahfuz Omar, menjelaskan lagi bahawa pengurangan dalam pengambilan pekerja baharu tidak akan berlaku sekiranya gaji dinaikkan. Hal ini kerana syarikat masih perlu mengambil pekerja baharu sekiranya mahu menambah pelaburan.\n\u201cPengambilan pekerja pula bergantung kepada permintaan produk. Sekiranya permintaan produk melebihi permintaan, majikan perlu menambah pekerja dalam syarikatnya. Sektor pembinaan juga merupakan salah satu industri yang sentiasa berkembang dan memerlukan pekerja bagi menghasilkan produktiviti yang banyak.\u201d" "Subsidi Bersasar Dapat Mengurangkan Perbelanjaan Kerajaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Isu hutang negara merupakan salah satu isu utama yang menjadi tumpuan di Parlimen baru-baru ini. Menyentuh perihal isu hutang negara, baru-baru ini dalam sesi rancangan Malaysia Petang Ini anjuran BERNAMA TV telah menampilkan Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid yang juga merupakan seorang penganalisis ekonomi di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School bagi mengupas topik \u201cMelunas Hutang Negara Tanpa GST\u201d.\nBeliau menjelaskan pandangan beliau berkenaan langkah kerajaan yang bertindak untuk tidak memperkenalkan semula sistem cukai GST. Beliau menyatakan bahawa pada masa ini bukanlah masa yang sesuai untuk memperkenalkan semula sistem cukai GST disebabkan oleh keadaan ekonomi masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat pada masa ini tertekan dengan peningkatan kos sara hidup dan terpaksa mengharapkan bantuan subsidi kerajaan.\nSelain itu, mekanisme sistem cukai GST di Malaysia masih belum mantap dan berkesan. Beliau menambah pelaksanaan sistem cukai GST memerlukan timbal balik kerana GST merupakan cosumption tax. Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan perlu mewujudkan keseimbangan sekiranya GST kembali dilaksanakan. Tambah beliau lagi, kerajaan perlu melakukan kajian secara terperinci dan mendalam sebelum GST dilaksanakan semula. Kerajaan perlu mengenal pasti barangan dan perkhidmatan yang perlu dikenakan GST supaya tidak menimbulkan kekeliruan kepada para pemain industri dan masyarakat. Kajian yang dilakukan tersebut juga perlu mendapatkan pandangan dan libat urus masyarakat supaya mereka dapat menerima pelaksanaan GST.\nPada akhir program itu, beliau sempat mengutarakan pendapat tentang asas hasil yang boleh dijana bagi meningkatkan pendapatan negara. Menurut beliau, beliau mahu kerajaan mengutip cukai daripada ekonomi hitam. Ekonomi hitam merupakan jenis perniagaan yang tidak didaftarkan, contohnya berniaga di tepi jalan. Perniagaan itu tidak mendaftar, tidak mengambil pinjaman dan tidak mempunyai rekod untuk mengutip cukai. Oleh itu, sektor ini dikenali sebagai ekonomi hitam. Statistik yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) menganggarkan bahawa ekonomi hitam di Malaysia sekitar 21% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dalam lingkungan RM300 billion. Oleh itu, pihak kerajaan harus merangka mekanisme yang membolehkan kerajaan mengutip cukai daripada sektor ini." "Pra-Pembentangan Belanjawan Malaysia Madani 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Berbaki beberapa hari lagi belanjawan negara bagi tahun 2023 akan dibentangkan di Dewan Rakyat. Menyentuh perihal belanjawan 2023, baru-baru ini dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran RTM telah menampilkan Prof. Madya Dr. Norlin Khalid yang juga merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia bagi mengupas topik berkenaan \u201cPra Belanjawan 2023: Tangani Kos Sara Hidup. Beliau membuka tirai perkongsiannya dengan menyentuh berkenaan tema belanjawan 2023. Menurut beliau, umum mengetahui bahawa tema bagi belanjawan 2023 adalah Malaysia Madani. Belanjawan tersebut akan memberi tumpuan terhadap hasrat YAB Perdana Menteri, Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim mahu menjadikan Malaysia sebagai satu negara yang makmur dan sejahtera yang berpandukan konsep Madani yang telah digariskan.\nBeliau menjangkakan bahawa belanjawan yang bakal dibentangkan akan memberikan keutamaan kepada pertumbuhan ekonomi negara. Pihak kerajaan dijangka akan melakukan penstrukturan semula program atau projek berdasarkan kepada keadaan ekonomi global semasa. Beliau turut mengupas perihal pendekatan untuk menstrukturkan semula subsidi. Beliau berpendapat bahawa langkah penstrukturan subsidi merupakan langkah yang tepat. Beliau menyatakan bahawa pihak kerajaan perlu menukar dasar subsidi penuh kepada dasar struktur baharu yang dapat membantu golongan yang lebih memerlukan.\nBeliau turut menyentuh perihal harga barang mentah dan harga barang akhir. Beliau menyatakan bahawa secara umumnya harga barang mentah memang sangat mempengaruhi harga barang akhir. Beliau menambah kenaikan harga barang kini dipengaruhi oleh faktor luaran seperti krisis perang dan gangguan rantaian bekalan global. Oleh itu, beliau mencadangkan bahawa pihak kerajaan perlu merangka program yang menggalakkan masyarakat untuk menceburi bidang pertanian dan penternakan bagi menjamin sekuriti makanan negara. Langkah itu dapat mengurangkan kebergantungan kepada makanan import dan dapat mengurangkan harga akhir kepada pengguna.\nBeliau juga turut mengupas perihal kenaikan tangga gaji dengan kuasa beli. Beliau menyatakan bahawa kuasa beli pengguna bukan sekadar ditentukan oleh harga barang malah turut ditentukan oleh hasil pendapatan gaji yang diterima. Tegas beliau lagi, jika berlakunya kenaikan harga barang tetapi dalam masa yang sama jumlah pendapatan turut meningkat sama atau lebih tinggi maka pengguna tidak mempunyai masalah dengan kenaikan harga barang, sebagaimana yang berlaku di negara maju. Namun, kenaikan harga barang tidak dapat dielakkan kerana kos pengeluaran sentiasa meningkat.\nOleh itu, salah satu cara untuk mengatasi masalah ini ialah meningkatkan pendapatan. Persoalannya, bagaimana belanjawan 2023 boleh meningkatan pendapatan dengan meningkatkan produktiviti pekerja? Beliau mencadangkan bahawa pihak kerajaan perlu meningkatkan produktiviti dengan melaksanakan program reskilling ataupun upskilling. Pada akhir wawancara itu, beliau juga sempat menyatakan harapan berkenaan golongan wanita dalam belanjawan 2023 yang bakal dibentangkan tidak lama lagi. Beliau berharap agar pihak kerajaan tidak meminggirkan golongan wanita kerana golongan wanita juga memainkan peranan penting dalam pembangunan negara." "Rizab Antarabangsa BNM Berjumlah USD 114.4 Bilion pada 15 Februari 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah USD 114.4 bilion\u00a0 pada 15 Februari 2023. Paras rizab ini memadai untuk membiayai 5.0 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.\nBNM menyatakan bahawa komponen utama rizab antarabangsa ialah rizab mata wang asing (USD 102.1 bilion), paras rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (USD 1.4 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (USD 5.7 bilion), emas (USD 2.3 bilion) dan aset rizab lain (USD 2.9 bilion).\u00a0Sementara itu, jumlah aset berjumlah RM 617.37 bilion, terdiri daripada emas dan pertukaran asing dan rizab lain termasuk SDR (RM 502.28 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM 12.82 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM 1.44 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM 23.74 bilion), tanah dan bangunan (RM 4.14 bilion) dan aset-aset lain (RM 72.96 bilion).\nBNM turut menambah modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM 100 juta), rizab (RM 160.48 bilion), mata wang dalam edaran (RM 161.94 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM 208.75 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM 10.41 bilion), deposit lain (RM 36.91 bilion), kertas Bank Negara (RM 6.17 bilion), peruntukan SDR (RM 28.21 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM 4.38 bilion)." "Mempercepat Pengeluaran Kereta EV Nasional Mampu Milik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Perkhidmatan e-Filing bagi Tahun Taksiran 2022 Dibuka Mulai 1 Mac 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin memaklumkan bahawa pengemukaan Borang Nyata (BN) Tahun Taksiran 2022 dan Tahun Saraan 2022 melalui e-Filing bagi pembayar cukai individu dan selain individu iaitu Borang BE, B, M, BT, MT, P, TF, TP dan E boleh dilakukan mulai 1 Mac 2023.\nPembayar cukai disarankan untuk menggunakan perkhidmatan e-Filing bagi tujuan pengemukaan BN yang boleh diakses melalui portal rasmi HASiL https://www.hasil.gov.my/ > MyTax > Perkhidmatan ezHasil > e-Filing atau secara terus ke MyTax; melalui portal https://mytax.hasil.gov.my/ atau aplikasi mobile manakala bagi ejen cukai pula digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan TAeF (https://taef.hasil.gov.my/). Pembayar cukai berdaftar yang log masuk kali pertama ke sistem e-Filing perlu mendapatkan no. PIN terlebih dahulu melalui MyTax > Pilih Jenis Pengenalan > No. Pengenalan > hantar dan pilih e-KYC (Mobile) atau e-CP55D (portal). Ikuti langkah yang dinyatakan dan muat naik dokumen pengenalan diri sekiranya diperlukan.\nTindakan set semula kata laluan bagi pembayar cukai yang terlupa kata laluan boleh dilakukan melalui e-mel yang berdaftar dengan HASiL. Sekiranya pembayar cukai masih menghadapi masalah berhubung kata laluan atau no. PIN, pembayar cukai boleh merujuk kepada panduan yang disediakan di MyTax, menghubungi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 (Dalam Negara) / 603-8911 1100 (Luar Negara), HASiL Live Chat atau mengunjungi kaunter perkhidmatan HASiL yang berhampiran.\nMaklumat lanjut berkenaan Program Memfail BN bagi tahun 2023 boleh dirujuk di portal rasmi HASiL atau klik pada pautan berikut untuk capaian pantas:\nVersi Bahasa Malaysia:\nhttps://www.hasil.gov.my/media/mpofkuqz/programmemfailbn_2023.pdf\nVersi Bahasa Inggeris:\nhttps://www.hasil.gov.my/media/esmb4pd1/rffilingprogramme_2023.pdf\nPembayar cukai turut dinasihatkan untuk mengemukakan BN dan membayar cukai pendapatan mereka dalam tempoh yang telah ditetapkan. Status penghantaran BN, proses bayaran balik, e-Lejar dan maklumat Potongan Cukai Bulanan (PCB) boleh disemak melalui MyTax. Dokumen pembuktian seperti penyata pendapatan, resit, invois dan lain-lain dokumen berkaitan cukai pendapatan hendaklah dikumpulkan, disusun dengan kemas dan disimpan dengan rapi sekurang-kurangnya untuk tempoh tujuh tahun seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 82 dan 82A Akta Cukai Pendapatan 1967. Tindakan itu perlu dilakukan sebagai persediaan untuk memudahkan proses pengisian e-Filing dan semakan pematuhan oleh HASiL pada masa hadapan.\nSebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada kami melalui:\na) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara);\nb) HASiL Live Chat; dan\nc) Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas\nhttps://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/public." "DNeX dan MIMOS Menjalinkan Kerjasama dalam Projek Pendigitalan Kerajaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dagang NeXchange Bhd. (DNeX) telah memeterai memorandum persefahaman dengan MIMOS Bhd. bagi meneroka projek stretegik kerajaan. Memorandum tersebut memberikan peluang untuk memanfaatkan projek dan inisiatif stretegik kerajaan bagi membangunkan keupayaan teknologi digital, pembangunan perisian, rangkaian, penyepaduan sistem, perkhidmatan perundingan, pengkomputeran awan dan revolusi perindustrian (IR) 4.0.\nKedua-dua entiti ini akan bekerjasama untuk menjalankan aktiviti pembangunan bersama, ujian lapangan, pemindahan teknologi dan pengkomersialan produk teknologi serta pertukaran kakitangan dalam tempoh tertentu bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan. Selain itu, aktiviti pembelajaran turut dilaksanakan seperti pengajaran, perkongsian pengetahuan, latihan, amali, penempatan atau lawatan sambil belajar.\nPengerusi Eksekutif DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir menyatakan bahawa kerjasama tersebut akan membuka jalan kepada kedua-dua buah syarikat untuk mengambil bahagian dalam projek mega teknologi maklumat, memanfaatkan pengetahuan teknologi bagi menyediakan penyelesaian komprehensif pelbagai projek teknologi maklumat termasuklah meningkatkan dan memajukan operasi dan penyampaian perkhidmatan kerajaan. Beliau turut menyatakan hasrat kedua-dua buah syarikat itu untuk menjadi batu loncatan bagi mempercepatkan transformasi digital dengan memanfaatkan tawaran dan teknologi mereka secara meluas.\nPengerusi MIMOS, Datuk Seri Ibrahim Ahmad mengulas tentang peranan MIMOS sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan gunaan negara bagi menerajui inovasi teknologi dalam meningkatkan daya saing negara, memacu transformasi industri dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat." "Kerajaan Memperuntukkan RM388.1 Bilion dengan RM289.1 Bilion Pembelanjaan Mengurus\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u00a0Kerajaan telah memperuntukkan RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion bagi belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka dalam Belanjawan 2023.\nPerdana Menteri, YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa selaras dasar fiskal mengembang, peruntukan pembangunan ditingkatkan kepada RM97 bilion berbanding dengan RM71.6 bilion tahun lalu. Peningkatan ini adalah untuk memberikan tumpuan terhadap program membasmi kemiskinan, baik pulih prasarana awam dan kemudahan desa. Pelaksanaan pembaharuan tatacara perolehan kerajaan akan memastikan perbelanjaan tambahan ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat. Atas prinsip pertanggungjawaban, kerajaan mengurangkan defisit fiskal 2023 kepada 5% ketimbang 5.6% pada tahun 2022.\nTambah beliau, kerajaan bertekad untuk mencapai tahap defisit fiskal yang mampan dalam jangka masa sederhana dengan sasaran 3.2% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025 tertakluk pada pertumbuhan ekonomi yang terus kukuh. Beliau turut menambah, bagi mengekang peningkatan hutang, pinjaman baharu mestilah lebih rendah dan sebaik-baiknya untuk membiayai pembangunan yang membawa pulangan serta dampak langsung kepada rakyat. Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal akan dibentangkan ke Parlimen pada tahun ini." "Kadar Cukai PMKS Dikurangkan dalam Belanjawan 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u00a0Kadar cukai perusahaan mikro, kecil, sederhana (PMKS) ke atas pendapatan bercukai bagi RM150 000 pertama dikurangkan daripada 17% kepada 15%. Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa pengurangan itu bermula pada tahun taksiran 2023 dan dapat memberi penjimatan sehingga RM3000 kepada setiap 150 000 pembayar cukai PMKS.\nBeliau turut menyatakan bahawa beliau mahukan Malaysia terkenal dengan kemudahan penjaja, gerai dan warung yang bersih dan indah. Oleh itu, pihak kerajaan \u00a0menyediakan RM50 juta bagi membina baharu dan menaik taraf melibatkan 3000 gerai dan 15 kiosk sebagai kemudahan penjaja kecil berniaga di lokasi tumpuan seluruh negara. Selain itu, pihak kerajaan juga menyediakan dana sebanyak RM176 juta untuk menaik taraf premis dan kemudahan perniagaan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA)." "Hasilkan Monolog dan Dialog yang Perlu Sahaja\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dialog dan monolog dalam penulisan kreatif bukan hanya sekadar untuk menyampaikan maklumat, bahkan untuk menghidupkan watak, mencetuskan konflik dan menimbulkan jangkaan tertentu kepada khalayak pembaca. Menerusi program Secangkir Kopi Jam 10 yang bersiaran pada hari ini, perbincangan berkaitan dengan isu ini dikupas dengan menggunakan cerpen \u201cBradford, Aku Datang!\u201d, hasil karya Puan Azian Mohamed Isa yang telah tersiar dalam majalah Dewan Bahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terbitan Mac 2022 sebagai rujukan.\nDalam program yang bersiaran langsung selama lebih kurang dua jam tersebut, mantan editor Dewan Sastera, Puan Rozninah Abd. Azib dan Puan Azian telah bertindak sebagai panel bagi membincangkan penggunaan dialog dan monolog yang berkesan agar para pembaca mampu menyimpan emosi penulis menerusi watak-watak dalam penulisan kreatif. Dalam pada itu, penulis tersohor tanah air, Puan Nisah Haron pula bertindak selaku moderator program.\nDalam program itu, Puan Azian berkongsi tentang proses awal penulisan cerpennya bersama-sama khalayak. Menurutnya, banyak usaha diperuntukkannya untuk menghasilkan cerpen \u201cBradford, Aku Datang!\u201d yang bertemakan kebahasaan, iaitu bahasa baku. Beliau turut menonjolkan dialek Perak dalam cerpen tersebut yang menjadikan cerpen tersebut semakin menarik.\nPenulis akan melalui dua proses sebelum menghasilkan sesuatu karya, iaitu proses luaran (melalui bengkel dan bacaan) dan proses dalaman (memecahkan tembok persepsi negatif yang ada dalam diri masing-masing).\nTambah beliau, sinopsis cerpen \u201cBradford, Aku Datang!\u201d juga melalui beberapa proses penambahan idea bagi menghasilkan karya yang cantik pada akhirnya. Oleh itu, setiap penulis pemula perlu ada sinopsis yang lengkap dari awal hingga akhir untuk menggambarkan bayangan babak dan secara tidak langsung akan membantu penceritaan berkembang secara semula jadi semasa proses menulis. Watak utama cerpennya itu pula diinspirasikan daripada Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2017, iaitu Prof. Dr. Nik Hazlina Nik Hussain.\nKomunikasi watak atau kata bual dalam penulisan kreatif berlaku dalam pelbagai cara seperti dialog, monolog, bahasa tubuh dan sebagainya. Dalam hal ini, menurut Puan Rozninah, dialog ialah kata yang mengeluarkan suara dan mempunyai nada manakala monolog pula ialah kata-kata yang tidak mengeluarkan suara dan hanya ada di hati serta di fikiran watak sahaja.\nBahasa tubuh pula terdiri daripada mimik muka, pergerakan anggota badan dan pelbagai lagi. Yang terakhir ialah watak bukan manusia, halusinasi atau luar watak, iaitu dialog daripada watak ghaib, bisikan atau suara yang didengari dalam kes \u201cschizophrenia\u201d, yang ditulis dalam bentuk italik.\nDialog yang ditulis dalam bahasa asing dan dialek perlu diitalikkan oleh penulis dalam penulisan kreatif masing-masing. Contohnya, \u201cLaju benor cikgu jalan tak terdaya teman kejor!\u201d\nTerdapat perbezaan penggunaan simbol dalam kata bual bagi penulisan dialog dan monolog. Contohnya, \u201cMohan, apa khabar? Tak sangka engkau pun ada di sini,\u201d kata Meor Azman sambil menghulurkan tangannya kepada Mohan. Contoh bagi penulisan monolog pula ialah \u2018Ah, Siti Suraya. Aku banyak terhutang budi kepada engkau. Dan engkau menghilangkan diri sebelum sempat aku mengucapkan terima kasih!\u2019 jerit hati Meor Azman.\nDialog dalam penulisan kreatif perlu juga perlu disesuaikan agar tidak menjadi penulisan khutbah dan penulis perlu memastikan dialog yang perlu sahaja ditulis dalam penulisannya agar dialog tidak menjadi lewah. Para pembaca boleh membaca cerpen \u201cBradford, Aku Datang!\u201d secara dalam talian melalui https://jendeladbp.my/ujana/." "Pihak Kerajaan Memperuntukkan RM300 Juta bagi Usahawan Mikro Wanita dan Belia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pihak kerajaan menyediakan dana sebanyak RM1.7 bilion untuk golongan usahawan mikro dan penjaja kecil bagi kemudahan pinjaman di bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).\nPerdana Menteri, YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa kemudahan tersebut termasuklah peruntukan RM300 juta yang dikhaskan bagi menyokong perniagaan mikro oleh usahawan wanita dan belia. BSN telah menyediakan lebih RM1 bilion dengan memberikan tumpuan kepada PKS mikro dan penjaja. TEKUN juga menyediakan RM330 juta termasuk RM10 juta bagi membantu belia daripada keluarga susah yang meraih pendapatan melalui perniagaan. Tambah beliau, mereka diberikan modal bagi memulakan perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal.\nSelain itu, pihak kerajaan juga bersetuju menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2, lesen teksi, bas dan e-panggilan. Pihak BNM menyediakan dana pinjaman hampir RM10 bilion bagi meringankan beban kewangan PKS dan menyokong pengembangan perniagaan mereka. Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sedia menjamin sehingga RM20 bilion pinjaman PKS dengan sektor tumpuan termasuklah teknologi tinggi, pertanian dan pembuatan yang diberikan jaminan kerajaan sehingga 90%.\nTambah beliau lagi, jaminan juga diperluaskan kepada pembiayaan oleh institusi kewangan bukan perbankan seperti syarikat pajakan kredit dan koperasi supaya dapat memberikan manfaat khusus kepada penjaja kecil." "Kerajaan Perkenal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Bantu Golongan B40\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u00a0Kerajaan memperkenalkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), khusus untuk membantu golongan B40. Sumbangan itu melibatkan 8.7 juta penerima dengan peruntukan disediakan hampir RM8 bilion.\nPerdana Menteri, YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa inisiatif itu akan membantu isi rumah berpendapatan kurang daripada RM2500, layak menerima sumbangan sehingga RM2500 bergantung kepada bilangan anak. Kerajaan juga akan memberikan sumbangan tambahan RM600 kepada isi rumah penerima STR termiskin mengikut data e-Kasih. Sumbangan ini akan disalurkan dalam bentuk bakul makanan dan juga secara baucar untuk barangan makanan asas bernilai RM600 kepada mereka. Hal itu bermakna, keluarga dalam kumpulan miskin tegar layak terima sumbangan sehingga maksimum RM3100.\nBeliau juga mengumumkan sebanyak dua juta belia berusia antara 18 hingga 20 tahun akan ditawarkan kredit e-Tunai Belia Rahmah berjumlah RM200 dengan peruntukan RM400 juta." "Karnival Mini Anjuran JKM-BDSP Pamerkan Produk OKU\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani \u2013 Pelbagai produk yang dihasilkan oleh golongan Orang Kurang Upaya\n(OKU) dipamerkan dan dijual bersempena dengan Mini Karnival OK[email\u00a0protected] 2.0 di\u00c2\u00a0 G.Mart Mall Premium Sungai Petani, Kedah hari ini.\nProgram yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Sungai Petani, YB Muhammad Taufiq Johari ini merupakan anjuran bersama antara Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah dengan Bengkel Daya Sungai Petani (BDSP). Karnival mini ini berjaya mengumpulkan hasil usaha 43 Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di seluruh negeri Kedah untuk pameran dan jualan.\nUrus setia program tersebut, Rossaffie Ismail berkata, melalui program seperti ini, OKU di PPDK boleh menjadi usahawan jika produk yang dihasilkan mendapat sambutan daripada pengunjung. Antara produk yang dijual termasuklah kerisik asli, bawang putih goreng, minyak tanak dan cendawan hiasan. Pelbagai pengisian aktiviti yang disusun oleh penganjur bagi menarik perhatian pengunjung. Antara aktiviti yang diadakan termasuklah pertandingan mewarna, nyanyian dan kuiz bahasa isyarat.\nPenyelia PPDK Lunas, Jalinah Hashim berkata, beliau gembira kerana produk\nminyak tanak dan kerisik asli yang diusahakan mendapat sambutan yang menggalakkan dan produk tersebut juga telah memasuki pasaran negara Jepun dan Ireland." "Usahawan Tani Dihargai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani\u00a0\u2013 Sebagai menghargai kesetiaan mereka yang menjalankan perniagaan di Pasar Tani Jalan Petri, sebanyak enam orang peniaga diraikan sempena ulang tahun ke-38 mereka berniaga di pasar tani ini. Berdasarkan sejarahnya, Pasar Tani Jalan Petri merupakan pasar tani pertama yang beroperasi di negeri Kedah, iaitu dibuka sejak 24 November 1985.\nMereka yang diraikan ialah peniaga barang runcit, Encik Ishak Endot, peniaga hasil laut, Encik Rajie Hassan dan Rodzi Mohd Amin, peniaga sayur-sayuran, Puan Rokiah Din diikuti peniaga tanaman jangka pendek, Encik Mat Nor Yahaya dan Puan Aeshah Salleh. Kesemuanya menerima plak dan sijil untuk kategori Peserta Pasar Tani Amat Setia.\nProgram ini merupakan anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Kedah dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Peserta Pasar Tani Sungai Petani. Dalam majlis tersebut, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), YBhg. Datuk Muhamad Arof Darus telah memotong pulut kuning dan menyampaikan plak serta sijil kepada peserta tersebut.\nDalam ucapannya, YBhg. Datuk Muhamad Arof Darus mengingatkan kepada peniaga yang membina gerai dan kedai di beberapa lokasi di daerah Kuala Muda secara persendirian yang terletak di atas tanah milik MPSP tanpa mendapat kebenaran mengikut undang-undang bakal dikenakan tindakan.\nTerdahulu, Pengarah FAMA Negeri Kedah, Tuan Isa Hamzah berkata, hasil jualan Pasar Tani di negeri Kedah mencecah RM22.4 juta pada tahun lepas. Jumlah tersebut adalah hasil jualan di 15 buah lokasi, dan melibatkan sebanyak 723 orang usahawan.\nTambahnya lagi, peserta Pasar Tani Sungai Petani mempunyai 80 orang usahawan dan berjaya menyumbang hasil jualan pada tahun lepas, iaitu sebanyak RM5.9 juta.\nTurut hadir dalam majlis tersebut ialah Penaung Persatuan Kebajikan Peserta Pasar Tani Daerah Kuala Muda, YBhg. Datuk Shahanim Mohamad Yusoff dan Setiausaha MPSP, Puan Noorulhuda Mohammed Ali." "IPR Inisiatif Kerajaan Bantu Golongan Miskin Tegar dan B40\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAmpang \u2013 Baru-baru ini, satu inisiatif atau yang dikenali sebagai Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Kementerian Ekonomi dilancarkan pada 26 Februari 2023 bertempat di Tempat Letak Kereta LRT Cempaka, Ampang. Program itu dirasmikan oleh YB Rafizi Ramli, yang juga merupakan Menteri Ekonomi Kerajaan Malaysia.\nMenurut beliau, Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) merupakan satu inisiatif Kementerian Ekonomi yang secara khusus memfokuskan kepada golongan miskin tegar dan golongan yang berpendapatan B40. Beliau menambah usaha kerajaan untuk membasmi miskin tegar sudah pun bermula sejak 70 tahun lalu. Pihak kerajaan sedaya upaya untuk menangani masalah itu dan mengenal pasti beberapa masalah bagi memastikan program itu mencapat matlamatnya.\nAntara cabaran pembasmian miskin tegar yang dinyatakan oleh YB Rafizi Ramli dalam majlis pelancaran inisiatif tersebut;\nJelas beliau lagi, proses paling penting untuk membasmi kemiskinan tegar adalah mewujudkan satu ekosistem yang berkesan. Antara ekosistem IPR yang akan diwujudkan;\nTegas beliau lagi, ekosistem itu dibentuk dengan tiga kumpulan utama. Kumpulan pertama ialah penerima (isi rumah miskin tegar dan isi rumah B40), kumpulan kedua ialah pembimbing (terdiri daripada pelbagai kumpulan-peniaga-peniaga, NGO, sukarelawan setempat) dan kumpulan ketiga ialah rakan niaga atau rakan strategik. Kita mahu pastikan bahawa program kerajaan dalam membasmi kemiskinan bukan semata-mata memberi bantuan, tetapi memberikan sokongan yang lain berdasarkan ekosistem negara supaya mereka dapat keluar dari kelompok kemiskinan.\nDalam pada itu, beliau juga menyatakan IPR bermula dengan tiga templat utama iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN). Beliau juga menjelaskan antara sasaran Kementerian Ekonomi bagi tahun 2023 adalah memastikan seramai 100 000 isi rumah miskin tegar dan golongan B40 mendapat manfaat dengan peruntukan RM750 juta. Turut hadir dalam majlis pelancaran insiatif tersebut Menteri Besar Selangor, YB Dato\u2019 Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan,YB Dato\u2019 Seri Haji\u00a0 Aminuddin Harun." "Lima Koperasi di Kedah Menerima Pengiktirafan Koperasi Terbaik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani \u2013 Lima koperasi di negeri Kedah dipilih menerima Sijil Pengiktirafan Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia dan Top 350 Koperasi Tahun 2022 di Hotel Swiss Avenue Sungai Petani. Program diadakan sempena berlangsungnya Majlis Apresiasi Koperasi Negeri Kedah berlangsung selama dua hari pada 27 Februari, mulai semalam.\nProgram itu dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Negeri Kedah. Koperasi terpilih itu ialah Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman Berhad, Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Daerah Kulim Berhad, Koperasi Guru-Guru Kedah Berhad, Koperasi Pasar Melayu Baling Berhad dan Koperasi Pembangunan Daerah Langkawi Berhad.\nNaib Pengerusi Eksekutif Dasar dan Pembangunan SKM, Amran Abdul Kadir ketika berucap di majlis penyampaian sijil pengiktirafan itu berkata, konsep Malaysia Madani diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato\u2019 Seri Anwar Ibahim perlu diberi perhatian serius oleh pemimpin koperasi. Katanya, banyak usaha baharu perlu dicipta untuk kemajuan ekonomi, termasuk koperasi menyertai sektor pertanian bagi menjamin sekuriti makanan dalam negara.\u201cSaya amat berharap setiap pemimpin koperasi menghayati konsep Malaysia Madani dan boleh diamalkan untuk kepentingan koperasi. Dengan penghayatan dan pengamalan Malaysia Madani itu, koperasi dapat diurus dengan lebih baik demi kepentingan anggota dan masyarakat. \u201cSaya juga berharap koperasi yang belum berada dalam kedudukan 100 koperasi terbaik, berusaha dari sekarang untuk mencapai kedudukan 100 terbaik pada masa hadapan,\u201c katanya.\nPengarah SKM Negeri Kedah, Norzila Nayan pula berkata, ceramah berkaitan tatacara pembayaran zakat, risiko rasuah dan lain-lain perlu dijadikan garis panduan untuk mengejar kejayaan sehingga memberi kepuasan anggota serta keyakinan masyarakat. Seramai 100 peserta dari 44 buah koperasi di seluruh negeri Kedah menyertai program itu." "Ekonomi Malaysia Berkembang Lebih Sederhana pada Tahun Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada tahun ini, berikutan pemulihan yang kukuh pada tahun 2022 meskipun ekonomi dunia masih bergelut untuk mengekalkan pertumbuhan dan trajektorinya.\nKetua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa perdagangan barangan Malaysia diramalkan terus berkembang pada tahun 2023 walaupun pada kadar yang lebih perlahan. Berdasarkan tinjauan ekonomi Kementerian Kewangan 2023, jumlah perdagangan, eksport dan import diunjurkan masing-masing meningkat 1.3%, 2.2% dan 0.2%. Unjuran ini\u00a0 sejajar dengan anggaran Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang menjangkakan perdagangan global berkembang perlahan, iaitu 1.0% pada tahun 2023.\nBerikutan permintaan luaran yang lebih perlahan dan pengurangan kesan asas rendah, sektor pembuatan juga dijangka memasuki fasa sederhana pada tahun 2023. Ketidaktentuan global yang berterusan juga dijangka mempengaruhi aktiviti ekonomi dan sosial serta pasaran buruh. Tambah beliau lagi, Indeks Pelopor (IP) Malaysia menyusut 0.6%, bersamaan 0.7 mata kepada 110.7 mata pada Disember 2022 berbanding 111.4 mata pada Disember 2021.\nBerdasarkan kepada senario ekonomi global, Jabatan Perangkaan melaporkan inflasi yang berterusan di seluruh dunia telah menghakis kuasa beli dan pengguna mengambil sikap berhati-hati terhadap perbelanjaan, seterusnya memberi kesan kepada prestasi ekonomi. Berdasarkan Tinjauan Ekonomi Dunia terkini yang dikeluarkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada bulan Januari 2023, ekonomi dunia diunjurkan menyederhana kepada 2.9% pada tahun 2023 dan bertambah baik kepada 3.1% pada tahun 2024.\nSementara itu, kebanyakan ekonomi menunjukkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih perlahan pada suku keempat tahun 2022 berbanding dengan suku ketiga tahun 2022." "DOSM Laporkan Terma Perdagangan Malaysia Meningkat 2.2% pada Januari\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa prestasi terma perdagangan Malaysia kekal positif dengan mencatat kenaikan 2.2% tahun ke tahun pada Januari 2023 daripada 109.1 mata bagi tempoh sama tahun lepas.\nKetua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa dari segi perbandingan bulanan, terma perdagangan Malaysia bagaimanapun kembali menunjukkan prestasi negatif dengan penurunan 0.1% kepada 111.5 mata pada Januari 2023 berbanding\u00a0 Disember 2022 berikutan penyusutan indeks makanan (0.14%), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-0.6%), minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (-0.08%). Beliau menambah, indeks nilai seunit eksport dan import menunjukkan momentum penurunan pada Januari 2023 dengan eksport susut 1.3% kepada 142.7 berbanding Disember 2022 manakala import turun 1.1% kepada 128.0 mata.\nPenurunan nilai seunit eksport disumbangkan oleh penurunan indeks minyak galian (-5.8%), bahan kimia (-0.3%) dan pelbagai barang keluaran kilang (-0.2%). Indeks volum eksport pelarasan bermusim turun 6.9% daripada 161.1 mata kepada 150.1 mata. Berdasarkan perbandingan tahunan, indeks nilai seunit eksport berkembang 7.6% manakala indeks volum menyusut 5.6%. Bagi import, beliau menyatakan bahawa indeks nilai seunit import turun 1.1% pada Januari 2023 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak galian (-6.8%), bahan kimia (-0.4%) dan pelbagai barang keluaran kilang (-0.3%).\nIndeks volum import turut merosot 7.4% pada Januari 2023 berbanding dengan bulan sebelumnya yang disumbangkan oleh penurunan indeks pelbagai barang keluaran kilang (-16.8%), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-7.5%) dan minyak galian (6.3%). Selain itu, indeks volum import pelarasan bermusim mengalami kemerosotan 5.4% kepada 165.9 mata daripada 175.4 mata. Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import berkembang 5.3% manakala indeks volum menyusut 2.6%." "Dakwaan Isu Kebocoran Data Pembayar Cukai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin menarik perhatian umum berhubung dengan dakwaan isu kebocoran data pembayar cukai yang sedang tular di platform media sosial pada hari ini. Antara dakwaan yang diterima termasuklah segala maklumat peribadi pembayar cukai boleh dicapai dengan mudah melalui platform MyTax. Sehubungan itu, HASiL ingin menegaskan bahawa kerahsiaan data pembayar cukai di platform MyTax adalah selamat dan terjamin kerana dilindungi oleh teknologi keselamatan data yang diiktiraf.\nHASiL amat memandang serius tentang isu ini dan meletakkannya sebagai keutamaan \u00a0yang tertinggi dalam usaha meningkatkan keyakinan serta kepercayaan pembayar cukai terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh HASiL dalam urusan pentadbiran percukaian. Oleh yang demikian, HASiL akan terus berusaha menambah baik mutu perkhidmatan dan bertindak secara proaktif dan telus bagi menangani isu ini.\nSebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada kami melalui:\na) \u00a0Hasil Care Line melalui talian 03-89111000/603-89111100 (Luar Negara).\nb) \u00a0HASiL Live Chat.\nc) \u00a0Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL melaui pautan pantas;https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/public" "Hubungan Perdagangan Malaysia dengan Australia Kekal Utuh\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMelbourne \u2013 Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne Australia, Marzita Marzuki mempersembahkan laporan kepada Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengenai perdagangan antara Malaysia dengan Australia di Crown Towers Melbourne. Beliau menyatakan bahawa pada tahun kewangan 2021-2022, perdagangan dua hala antara negeri Victoria di Australia dengan Malaysia meningkat sebanyak 36% (AUD$1.24 bilion) berbanding dengan tahun sebelumnya. Malaysia merupakan rakan dagang dua hala kelapan terbesar dengan Victoria.\nPeningkatan itu dilihat dalam import Malaysia, dengan nilai import petroleum mentah dan bertapis dari Malaysia ke Victoria meningkat sebanyak 93% (AUD$912 juta), manakala import utama Malaysia dari Victoria ialah produk tenusu berjumlah AUD$110 juta, petroleum yang bertapis berjumlah AUD$94 juta, dan gandum berjumlah AUD$77 juta.\nDYTM Tuanku Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berangkat ke Melbourne untuk menghadiri majlis graduasi anakanda puteri kedua baginda, Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Farah Adriana Jamalullail, 21 tahun yang telah tamat pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Pengurusan) di Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT) University dari tahun 2018 hingga 2021 yang lalu.\nBerangkat sama ke Melbourne ialah\u00a0 anakanda puteri sulung, YAM Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan anakanda putera bongsu, YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyerahkan sumbangan tambahan \u2018Tabung Ibnu Sabil MAIPs\u2019 yang diterima oleh Konsul Muda, Mohd Adham Yahaya. Pada tahun 2019, Malaysia merekodkan pendaftaran pelajar antarabangsa ketiga terbesar di Victoria dan sumber pelawat semalaman antarabangsa ketujuh terbesar.\nUntuk rekod, Malaysia telah membuka pejabat Konsulat Jeneral di Melbourne, Victoria pada Mei 2011, iaitu selepas lawatan rasmi YAB Perdana Menteri Malaysia ke Melbourne pada 11 Mac 2011. Ini diikuti dengan ketibaan Konsul Jeneral yang pertama pada 26 Jun 2011 dan beroperasi buat sementara waktu di Malaysia Hall sebelum berpindah ke premis tetap di Aras 1, 432, St. Kilda Road Melbourne." "Antara Kata Dekat, Hampir dan Rapat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSatu aspek penguasaan kosa kata sesuatu bahasa ialah keupayaan seseorang untuk menentukan maksud sesuatu kata secara tepat. Selain itu, seseorang itu juga harus berupaya untuk membezakan pengertian dan penggunaan sesuatu kata yang maksudnya hampir sama dengan sejumlah kata yang lain.\nAda tiga patah perkataan dalam bahasa Melayu yang maksudnya hampir sama, iaitu kata dekat, hampir dan rapat. Sekali imbas, ketiga-tiga kata tersebut seolah-olah merupakan sinonim tetapi apabila meneliti dan mendalami maksudnya, kita akan mendapati bahawa maksud dan penggunaan kata tersebut menampilkan kelainan, selain menyajikan persamaan. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a.\u00a0 Tempat itu dekat/hampir dengan rumah saya.\n1b.\u00a0 Dia duduk dekat/hampir dengan ibunya.\n1c.\u00a0 Dia duduk rapat dengan ibunya.\nDalam ayat 1a dan 1b, kata dekat dan hampir merupakan sinonim yang dapat digunakan secara bertukar ganti dalam ayat. Maksudnya ialah \u201ctidak jauh\u201d. Dalam ayat 1c pula, kata rapat membawa maksud \u201csangat dekat\u201d atau \u201csangat hampir\u201d dengan seseorang.\n2a.\u00a0 Hampir/dekat dua jam dia duduk di taman.\n2b.\u00a0 Hampir/dekat 200 orang hadir.\n2c.\u00a0 Barang itu hampir/dekat 10 kilogram.\nDalam kelompok ayat 2 di atas, kata dekat dan hampir mendukung maksud \u201ckurang sedikit daripada\u201d masa, jumlah, bilangan atau berat tertentu.\n3a.\u00a0 Perkahwinannya sudah dekat.\n3b.\u00a0 Perkahwinannya hampir tiba.\nDalam kelompok ayat 3 di atas, kata dekat dan hampir merupakan sinonim yang membawa maksud \u201ctidak lama lagi\u201d. Walaupun demikian, penggunaan kata-kata tersebut menampilkan kelainan. Dalam ayat 3a, kata dekat merupakan kata adjektif yang menghuraikan kata nama perkahwinannya. Dalam ayat 3b pula, kata hampir ialah kata adverba yang menghuraikan kata kerja tiba.\n4a.\u00a0 Hubungan antara mereka rapat/dekat.\n4b.\u00a0 Dia saudara dekat/rapat saya.\nDalam kelompok ayat 4, kata rapat dan dekat merupakan sinonim yang mendukung makna \u201cerat (hubungan)\u201d.\nDalam ayat 5 di atas, kata hampir ialah adverba yang membawa maksud \u201cnyaris-nyaris\u201d.\nKata dekat juga digunakan dalam bahasa percakapan atau bahasa basahan untuk mendukung maksud seperti kata sendi nama di. Sila lihat contoh yang berikut:\nBahasa percakapan \n6a.\u00a0 Rumahnya dekat sana.\n6b.\u00a0 Dia tinggal dekat sana.\n\u00a0\nBahasa baku/persuratan\n6a.\u00a0 Rumahnya di sana.\n6b.\u00a0 Dia tinggal di sana.\n\u00a0\nKata rapat dapat membawa maksud \u201csusunan atau kedudukan yang tidak renggang\u201d.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\n7a.\u00a0 Anyamannya rapat.\n7b.\u00a0 Tanamannya rapat.\nKata rapat juga dapat digunakan seperti yang berikut:\n8a.\u00a0 Tin itu ditutup rapat.\n8b.\u00a0 Dipeluknya anaknya dengan rapatnya.\nDalam kelompok ayat 8 di atas, kata rapat menghuraikan kata kerja ditutup dan dipeluk. Maksudnya ialah \u201ctidak bercelah\u201d atau \u201ctidak mempunyai ruang\u201d. Dalam ayat 9 pula, kata rapat membawa pengertian \u201cpenuh sesak\u201d.\nSatu hal yang menarik ialah kata rapat juga merupakan kata nama yang mendukung maksud tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:\n11. Rapat ialah tumbuhan yang berguna.\nDalam ayat 10, kata rapat ialah kata nama yang sama erti dengan kata kerapatan, iaitu \u201cmajlis\u201d, \u201cperhimpunan\u201d atau \u201cperkumpulan\u201d. Dalam ayat 11 pula, kata rapat ialah kata nama yang mendukung makna \u201csejenis tumbuhan\u201d.\nKata dekat, hampir dan rapat boleh ditambah imbuhan untuk mendukung pelbagai makna. Sila lihat contoh yang berikut:\nAda perkaitan makna\n12a.\u00a0 Mereka berdekat/berapat/merapat untuk berbual.\n12b.\u00a0 Dia ke kedai yang berdekatan/berhampiran.\n12c.\u00a0 Itulah sekolah yang terdekat/terhampir.\n12d.\u00a0 Bukit itu ialah dekatan/hampiran yang paling tinggi.\n12e.\u00a0 Kereta itu semakin mendekat/merapat.\n12f.\u00a0 \u00a0Dia mendekati/menghampiri/merapati rumah itu.\n12g.\u00a0 Dia mendekatkan/menghampirkan/merapatkan perahu ke pangkalan.\n12h.\u00a0 Dia memperdekat/memperapat keretanya.\n12i.\u00a0 \u00a0Kedekatan/kehampiran sastera dengan realiti sering dibincangkan orang.\n\u00a0\nTiada perkaitan makna\n13a.\u00a0\u00a0 Dia menggunakan pendekatan yang kreatif untuk menyelesaikan\nmasalah.\n13b.\u00a0 Proses penghampiran tempat jenayah penting untuk mencari bukti.\n13c.\u00a0 Perapatan perahu itu berlubang.\n13d.\u00a0 Kerapatan itu sudah selesai.\n13e.\u00a0 Mereka berapat dua bulan sekali.\n13f.\u00a0 \u00a0Mereka merapatkan isu hangat itu.\n\u00a0\nKata dekat, hampir dan rapat boleh juga digandakan untuk mendukung pelbagai makna. Sila lihat contoh yang berikut:\n14a.\u00a0 Mereka duduk dekat-dekat/rapat-rapat.\n14b.\u00a0 Dia hampir-hampir terjatuh.\n14c.\u00a0 Tutup pintu itu rapat-rapat." "Jualan Gudang DBP Gamit Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sedang mengadakan Jualan Gudang dan Jualan Kembali ke Sekolah bermula dari 3 Mac 2023 hingga 12 Mac 2023. Jualan itu menawarkan diskaun sehingga 70% dan majalah serendah RM1. Sesi jualan bermula dari pukul 9 pagi hingga pukul 5 petang.\nJualan tersebut diadakan secara serentak di semua kedai buku DBP yang terlibat, iaitu di Kompleks DBP Hulu Kelang, DBP Wilayah Timur, Anjung DBP, DBP Cawangan Sabah dan DBP Cawangan Sarawak. Para pelanggan juga boleh membeli secara atas talian melalui laman DBPNiaga.my. Jualan gudang pada kali ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat. Tambahan lagi, terdapat aktiviti yang diadakan sebagai selingan, umpamanya di DBP Cawangan Sarawak yang mengadakan Kuiz Digital Bahasa Melayu untuk pengunjung yang membeli buku di sana.\nSalah seorang pengunjung, Muhammad Faris Azmi yang mengunjungi Anjung DBP menyatakan bahawa jualan itu sangat membantunya dalam persediaan kembali ke sekolah. Tambahnya, dia mendapatkan buku teks dan buku latihan tambahan pada harga yang rendah di jualan gudang ini.\nAyuh, jangan lepaskan peluang untuk menambah koleksi buku anda dan lengkapkan persediaan ke sekolah dengan mendapatkan buku-buku di Jualan Gudang DBP yang berdekatan dengan lokasi anda!" "SSM Umum Pengurangan Kompaun Bantu Pemulihan Komuniti Perniagaan dan Korporat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui agensinya, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah mengumumkan inisatif tambahan pengurangan kompaun bagi menyokong komuniti perniagaan dan korporat melalui fasa pemulihan pada ketika ini.\nMenurut SSM, inisiatif pengurangan kompaun di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 itu melibatkan pengurangan kompaun sebanyak 90% daripada nilai asal bagi Seksyen 68 (2) dan Seksyen 68 (3) Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 kepada pemilik Perkongsian Liabiliti Terhad yang telah ditawarkan kompaun dan telah patuh.\nDalam satu kenyataan media semalam, beliau menyatakan bahawa inisiatif tersebut berkuat kuasa mulai 3 Julai 2023 hingga 31 Disember 2023 yang bakal memanfaatkan 16 765 Perkongsian Liabiliti Terhad.\nInisiatif ini juga adalah selaras dengan usaha SSM bagi mendorong pematuhan perundangan di samping mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif di Malaysia selain diharapkan dapat membantu komuniti perniagaan dan korporat untuk meneruskan perniagaan dalam persekitaran perniagaan yang mencabar pascapandemik COVID-19 kini.\nTerdahulu, SSM juga telah mengumumkan lapan inisiatif bagi membantu pemulihan ekonomi negara 2023 termasuklah tiga inisiatif pengurangan kompaun pada awal tahun ini.\nUntuk maklumat lanjut berkaitan insiatif ini, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan SSM melalui talian 03-77214000 atau e-mel ke [email\u00a0protected].\nSumber gambar: Suruhanjaya Syarikat Malaysia" "Program IPR Dapat Sambutan Menggalakkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Kementerian Ekonomi yang dilancarkan bagi membantu golongan miskin tegar dan B40 mendapat sambutan yang baik daripada rakyat Malaysia.\n\nDalam kenyataan media Menteri Ekonomi pada 6 Mac 2023, YB Rafizi Ramli menyatakan bahawa sebanyak 22 319 pengguna telah mendaftarkan diri di laman web rasmi IPR (ipr.epu.gov.my) sejak hari pelancarannya pada 26 Februari 2023. Program IPR ini terdiri daripada Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN), Insiatif Usahawan Tani (INTAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN). 52 peratus penyertaan bagi program INSAN, 29 peratus untuk program (INTAN) dan 19 peratus untuk Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN). Manakala bagi off-takers sebanyak 376 menunjukkan minat yang luas dalam program tersebut.\nTapak pertama INTAN akan dilancarkan pada minggu pertama bulan April. Sebanyak 20 peserta pertama INTAN akan mula memasuki tapak dalam tempoh tiga minggu akan datang." "Sambutan Hari HASiL ke-27 Meriah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013 Tanggal 1 Mac 2023 merupakan tarikh genap 27 tahun buat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) sejak diperbadankan pada tahun 1996. Sambutan Hari HASiL pada tahun 2023 ini disambut meriah dengan kehadiran Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Kewangan, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato\u2019 Seri Anwar bin Ibrahim bertempat di Dewan Bangsawan, Menara Hasil Cyberjaya.\nPerasmian majlis gilang-gemilang ini telah disempurnakan oleh YAB Dato\u2019 Seri Anwar bin Ibrahim dan disiarkan secara langsung menerusi platform YouTube untuk disaksikan oleh Team HASiL di seluruh Malaysia. Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Kewangan I, YB Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, dan Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi.\nHASiL telah berjaya mencipta sejarah kutipan cukai langsung tertinggi negara pada angka RM175.4 bilion atau peningkatan 21.75% berbanding dengan kutipan pada tahun 2021. Pada tahun 2023, HASiL menjangkakan sebanyak RM174.1 bilion dapat dikutip berdasarkan pada prestasi persekitaran ekonomi semasa.\nYBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi dalam ucapan alu-aluannya memberikan jaminan bahawa HASiL akan terus komited, telus dan adil dalam melaksanakan fungsinya sebagai sebuah jentera kerajaan yang memikul amanah memungut cukai langsung negara. Tambahnya lagi, HASiL akan memberikan keutamaan yang tinggi terhadap sebarang isu, aduan dan cadangan penambaikan yang diberikan oleh rakyat bagi membolehkan HASiL memberikan perkhidmatan percukaian yang terbaik selaras dengan rukun ikrar HASiL yang keempat, iaitu \u201cmemberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan\u201d dan seterusnya meningkatkan kadar pematuhan cukai dalam kalangan pembayar cukai di Malaysia.\nPada Majlis Sambutan Hari HASiL ke-27 ini, sebanyak empat transformasi sistem baharu bagi capaian umum dan tiga inisiatif baharu bagi capaian dalaman HASiL telah dilancarkan bagi menambah baik tadbir urus dalam memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan. Empat transformasi sistem baharu tersebut termasuklah:\nManakala tiga inisiatif baharu bagi capaian dalaman HASiL termasuklah:\nSebanyak 10 pembayar cukai dari kategori syarikat korporat yang mempamerkan prestasi pematuhan yang tinggi dalam tahun 2022 telah dipilih sebagai penerima Anugerah Pembayar Cukai Terbaik. Pemilihan penerima anugerah ini telah dibuat berdasarkan kriteria yang ditetapkan, iaitu:\nSenarai penerima Anugerah Pembayar Cukai Terbaik bagi tahun 2022 adalah seperti yang berikut:\nHASiL turut mengiktiraf sebanyak lima orang daripada Team HASiL sebagai penerima Anugerah \u2018Most Outstanding Hasilian\u2019 (MOH) bagi tahun 2022 atas kecemerlangan, profesionalisme, integriti dan nilai versatil yang telah ditunjukkan. Senarai penerima Anugerah \u2018Most Outstanding Hasilian\u2019 adalah seperti yang berikut:\nPada tahun ini, HASiL turut menganjurkan pelbagai aktiviti menarik seperti Virtual TaxEdu Challenge 2023, majlis bacaan Yasin, solat hajat dan ceramah perdana, program HASiL Kasih Prihatin (CSR) dan HASiL Run.\nSebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan dengan perkara ini boleh dimajukan kepada HASiL melalui:" "Yayasan Infaq Angkasa Mewakafkan Bangunan untuk Memperkasakan Pembangunan Ekonomi Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "CIMA Memacu Pertumbuhan Ekonomi Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nChuping \u2013 Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Majlis Kemuncak Sambutan Jubli Emas Ulang Tahun ke-50 Cement Industries of Malaysia (CIMA) Berhad yang diadakan di Bukit Keteri, Chuping. Turut berangkat sama ialah DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda kedua baginda berdua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.\nKeberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi CIMA, Datuk Zaiviji Ismail, Pengarah Urusan UEM Group Bhd. yang juga Ahli Lembaga Pengarah CIMA, Dato\u2019 Mohd Izani Ghani dan Pengarah Urusannya, Sharuddin Omar Hashim.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan ucapan tahniah kepada barisan kepimpinan dan seluruh warga kakitangan CIMA atas kejayaan beroperasi selama 50 tahun yang merupakan asas untuk syarikat ini terus melangkah lebih jauh dan memacu landskap infrastruktur negara ini. Sebagai sebuah syarikat yang pada mulanya bertapak di Perlis, baginda amat berbangga dengan pencapaian demi pencapaian yang dilakar oleh CIMA dalam tempoh lima dekad. Kini CIMA menjadi antara syarikat pengeluar simen dan konkrit yang terbesar dalam negara.\nDYTM Tuanku Raja Muda juga amat bersyukur dengan komitmen berterusan yang dizahirkan CIMA untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Perlis, menjaga kelestarian alam sekitar dengan baik dan menitikberatkan kebajikan golongan yang memerlukan di negeri ini. Baginda menzahirkan harapan agar CIMA kekal mencatatkan lebih banyak kejayaan pada masa hadapan dan limpahan daripada kejayaan itu nanti akan terus dapat turut sama dirasai oleh negeri dan rakyat Perlis.\nSempena majlis tersebut, turut diadakan taklimat di sepanjang Milestone Wall, tayangan video korporat CIMA,\u00c2\u00a0 majlis menandatangani plak penyempurnaan kemuncak Sambutan Jubli Emas CIMA dan juga tayangan video Jubli Emas CIMA 50 tahun. Selain itu, majlis itu juga meraikan 40 kakitangan yang sudah berkhidmat lebih dari 30 tahun di syarikat tersebut untuk pengurniaan anugerah lama berkhidmat.\nPihak CIMA turut mengadakan kerjasama strategik bersama dengan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis untuk menjayakan beberapa inisiatif khidmat tanggungjawab sosial koporat (CSR) bersempena dengan sambutan tersebut." "Peningkatan Sederhana bagi Nilai Jualan Sektor Pembuatan pada Januari 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia menunjukkan peningkatan sederhana iaitu, 6.5% kepada RM148 bilion pada Januari 2023 berbanding dengan bulan sebelumnya, iaitu 8.8%.\nKetua Perangkawan Malaysia, Dato\u2019 Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa momentum pertumbuhan positif yang berterusan telah diperkukuh oleh pertumbuhan dua angka dalam subsektor perkilangan lain dan peralatan pengangkutan, iaitu sebanyak 14% serta subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik pula mencatatkan sebanyak 10.1%.\nBeliau juga menyatakan bahawa nilai jualan yang didaftarkan pada Januari paling rendah dicatatkan sejak Mei 2022.\n\u201cDaripada keseluruhan jumlah jualan, 71.3% disumbangkan oleh nilai jualan industri berteraskan eksport namun telah mencatatkan pertumbuhan perlahan sebanyak 6.9% pada Januari berbanding dengan 9.2% pada Disember 2022.\u201d\nWalau bagaimanapun, prestasi tersebut seiring dengan penurunan eksport produk perkilangan pada bulan itu. Menurut beliau, trend yang sama telah dicatatkan dalam nilai jualan industri yang berteraskan domestik secara sederhana, iaitu sebanyak 5.6% daripada pertumbuhan 7.7% pada bulan sebelumnya.\nTambahnya lagi, pada bulan sebelumnya nilai jualan untuk industri berorientasikan eksport terus merosot selama empat bulan berturut-turut dan mencatatkan -6.9% pada Januari dan industri berorientasikan dalam negeri juga turut berkurangan sebanyak 1.6%.\nTerdapat 2.34 juta orang pekerja yang terlibat dalam sektor pembuatan pada Januari dan mengalami peningkatan sebanyak 3.0% berbanding dengan 2.227 juta yang didaftarkan pada tahun lalu, iaitu sebanyak 3.4% pada Disember 2022.\nKenaikan tersebut adalah disebabkan oleh pertambahan jumlah pekerja dalam subsektor makanan, minuman dan produk tembakau, iaitu sebanyak 4.7%, produk elektrik dan elektronik sebanyak 4.3% dan subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik sebanyak 2.1%.\nGaji dan upah dibayar dalam sektor pembuatan meningkat 4% susulan aliran positif dalam pekerjaan, iaitu sebanyak RM8.18 bilion pada Januari 2023 dengan purata gaji bulanan dan gaji setiap pekerja sebanyak RM3494 serta menunjukkan peningkatan sebanyak 1.0% dari tahun ke tahun.\nKetua Perangkawan Malaysia itu juga menyatakan bahawa nilai bagi setiap jualan pekerja melonjak sebanyak 3.4% berbanding dengan bulan yang sama pada tahun sebelumnya, iaitu sebanyak RM63 200." "Banci Ekonomi 2023 Bantu Penstrukturan Ekonomi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Data yang diperoleh daripada hasil bancian bukan sahaja dapat membantu memahami keadaan semasa, malah hal tersebut juga menjadi landasan kepada pihak kerajaan untuk menggubal dasar dan program yang tertentu.\nHal ini\u00a0 dijelaskan oleh Yang Berhormat (YB) Rafizi Ramli yang juga merupakan Menteri Ekonomi Malaysia dalam Majlis Pelancaran Banci Ekonomi 2023 yang bertempat di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia pada 14 Mac 2023. Banci Ekonomi 2023 (BE 2023) merupakan kesinambungan banci yang pernah dilaksanakan seawal tahun 2001. Banci Ekonomi akan dilaksanakan setiap lima tahun, dan tahun ini merupakan tahun ke-5 Banci Ekonomi dilaksanakan.\nAntara objektif pelaksanaan Banci Ekonomi 2023 ialah menilai pencapaian Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), mengenal pasti pertubuhan baharu ekonomi, menjana statistik ekonomi baharu, menjana statistik utama sehingga ke peringkat daerah, meningkatkan kapasiti statistik data raya negara, penanda aras baharu untuk memperkemaskan statistik sedia ada. Tempoh pelaksanaan Banci Ekonomi 2023 akan bermula pada 1 April 2023 hingga 1 September 2023, iaitu melibatkan liputan banci daripada 1121 industri, 1 184 719 pertubuhan dan 26 borang banci mengikut subsektor.\nMenurut YB Rafizi Ramli, pandemik COVID-19 menyebabkan beberapa bancian utama tertunda. \u201cTahun ini bukan sahaja tahun yang mencabar tetapi saya harap menjadi titik penting kepada Jabatan Statistik, Kementerian Ekonomi dan negara keseluruhannya. Data yang diperoleh daripada bancian demi bancian ini membolehkan kita memahami kedudukan sekarang\u201d. Bahkan beliau turut menegaskan bahawa banci ekonomi, banci mengenai pendapatan isi rumah dan tahun depan banci mengenai sektor pertanian merupakan banci yang penting untuk negara kerana hal tersebut menjadi landasan kepada kerajaan untuk menggubal dasar dan program.\u201d\nBeliau juga menyatakan bahawa perkongsian data tertentu kepada orang ramai melalui Jabatan Statistik Negara memperlihatkan keterbukaan kerajaan dalam usaha membuka minda rakyat, pemegang taruh dan pemain industri memanfaatkan maklumat dan data yang dikongsikan dalam sistem kerajaan. Hal tersebut juga diharapkan dapat menjana inovasi berasaskan data dan memberikan pelbagai manfaat dalam kalangan mereka." "Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia Sederhana pada Januari 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan bahawa Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia menyederhana kepada 1.8% pada Januari 2023 berbanding 2.9% pada bulan sebelumnya yang dipengaruhi oleh pertumbuhan output yang lebih perlahan dalam sektor pembuatan.\nKetua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa output sektor pembuatan mengembang 1.3% tahun ke tahun berbanding 3.0% pada Disember 2022 manakala output elektrik menyusut pada kadar yang lebih pantas iaitu 4.3% berbanding 2.2% sebelumnya. Sementara itu, pengeluaran perlombongan berkembang sebanyak 5.9% berbanding 3.9% pada Disember 2022.\nPertumbuhan tahun ke tahun bagi IPP bulan Januari 2023 juga merupakan yang terendah dicatatkan sejak Ogos 2021. Secara perbandingan bulan ke bulan, IPP terus merosot sebanyak 2.3%, selepas mencatatkan penurunan marginal sebanyak 0.6% pada bulan sebelumnya. Menurut Jabatan Perangkaan, kedua-dua industri berorientasikan eksport dan berorientasikan domestik menyumbang kepada penyederhanaan dalam pertumbuhan sektor pembuatan.\nPertumbuhan output industri berorientasikan eksport perlahan kepada 0.6% daripada 2.7% pada bulan sebelumnya, manakala pengeluaran industri berorientasikan domestik meningkat 2.7% berbanding 3.8% pada Disember 2022. Pengeluaran pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal merupakan penyumbang terbesar kepada sektor pembuatan, merekodkan pertumbuhan output yang perlahan kepada 0.8% berbanding 7.6% pada Disember 2022, selari dengan momentum perlahan dalam sektor perdagangan luaran dan trend penurunan dalam industri semikonduktor global.\nPada masa yang sama, pengembangan kukuh dilihat pembuatan kok dan produk petroleum bertapis dengan pertumbuhan output sebanyak 11.0% dan dalam pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran serta haiwan dengan 8.3%. Beliau menjelaskan pengeluaran industri berorientasikan domestik yang menyumbang sebanyak satu pertiga daripada output kerana didorong oleh pembuatan kenderaan bermotor, treler dan separuh treler yang berkembang sebanyak 12.2%.\nPertumbuhan output menunjukkan trend positif dalam hampir kesemua produk industri berorientasikan domestik kecuali bagi pembuatan minuman; dan pembuatan logam asas yang mencatatkan penguncupan pada bulan tersebut. Mengulas mengenai prestasi sektor perlombongan, pengembangan 5.9% dalam pengeluaran sektor itu dipacu oleh pertumbuhan kukuh 8.0% dalam indeks minyak mentah dan kondensat serta 4.5% dalam indeks gas asli. Indeks perlombongan meningkat 1.7% pada Januari 2023 berbanding dengan pertumbuhan 1.1% yang dicatatkan pada bulan sebelumnya." "Surat Penyelesaian Cukai Pastikan Rekod Percukaian Pekerja Teratur\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Baru-baru ini, rancangan siri Klinik Cukai anjuran Bernama Radio menampilkan Wan Norafidah Mahyuddin yang juga merupakan Timbalan Pegawai Perhubungan Awam Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk membicarakan topik Surat Penyelesaian Cukai.\nBeliau menjelaskan Surat Penyelesaian Cukai atau dikenali ringkasnya sebagai SPC ialah perakuan daripada HASIL kepada majikan berkaitan hal ehwal cukai pendapatan bagi pekerja yang berhenti kerja, bersara, meninggal dunia ataupun yang hendak meninggalkan Malaysia. Tambahnya lagi, SPC merupakan tanggungjawab majikan, tidak kira majikan pihak swasta ataupun majikan sektor awam yang tertakluk di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk memaklumkan kepada HASIL dalam tempoh yang telah ditetapkan sekiranya berlakunya penamatan perkhidmatan pekerja.\nKemudian, beliau menjelaskan bahawa majikan perlu memaklumkan kepada HASIL tidak kurang daripada 30 hari sebelum tarikh pemberhentian pekerja yang akan berhenti kerja, bersara, atau yang akan meninggalkan Malaysia lebih daripada tiga bulan. Namun bagi kes pekerja yang meninggal dunia, pemakluman perlu dibuat dalam keadaan segera ataupun tidak lebih 30 hari selepas dimaklumkan mengenai kematian pekerja. Selain itu, majikan bertanggungjawab untuk menahan apa-apa bahagian wang yang akan atau boleh dibayar kepada pekerja dan tidak membayar apa-apa bahagian wang tersebut tanpa kebenaran HASIL, sehingga tempoh 90 hari dari tarikh borang diterima oleh HASIL.\nTiga jenis Borang yang perlu dihantar kepada HASIL;\nTujuan SPC dibuat adalah untuk memastikan rekod pecukaian pekerja berada dalam keadaan teratur. Apabila kami menerima permohonan SPC, pihak HASIL akan menyemak rekod percukaian pekerja untuk penentuan audit. Sekiranya perlu melakukan audit, HASIL akan mengeluarkan surat untuk mendapatkan dokumen yang berkaitan pekerja dan membuat semakan.\nSementara itu, beliau turut menjelaskan majikan boleh disabitkan kesalahan mengikut undang-undang yang telah ditetapkan jika gagal mematuhinya. Kelewatan ataupun kegagalan mengemukan borang CP21 atau CP22a atau CP22b tanpa alasan yang munasabah merupakan satu kesalahan dan sekiranya disabitkan, boleh dikenakan denda tidak kurang RM200 dan tidak lebih RM20 000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya di bawah Subseksyen 120 (1) Akta Cukai Pendapatan 1967. Majikan bertanggungjawab untuk membayar amaun penuh cukai yang perlu dibayar oleh pekerjanya. Amaun perlu dibayar oleh majikan merupakan satu hutang kepada kerajaan dan boleh dituntut melalui tindakan sivil.\nBeliau juga turut menegaskan bahawa golongan pekerja bertanggungjawab memastikan pendapatan yang diterima berhubung dengan satu penggajian dilaporkan dengan mengemukakan borang nyata cukai pendapatan sekiranya pekerja tidak memilih potongan cukai bulan sebagai cukai muktamad. Pekerja juga disarankan menyemak rekod pematuhan cukai terlebih dahulu sebelum majikan mengemukan permohonan SPC." "Bahasa Melayu Teras Perkembangan Ilmu Sains\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dongeng tentang hinanya bahasa Melayu yang dikatakan tidak mempunyai apa-apa ilmu dan hanya berdiri dengan empat perkataan, iaitu tanah, besi, padi dan babi, memuncakkan iltizam tokoh bidang etnosains negara, iaitu Prof. Dr. Shaharir Mohamad Zain (Felow Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia), dengan membuktikan bahawa dakwaan tersebut sebagai usaha untuk merendahkan pencapaian bahasa Melayu.\nMenurut beliau, dongengan yang sengaja dicipta oleh pihak tertentu untuk memperkecil peranan bahasa Melayu sebagai bahasa peradaban Melayu termasuklah dakwaan bahawa bahasa Melayu tidak memiliki sebarang ilmu. Bahasa Melayu didakwa hanya mempunyai tulisan yang merakamkan ilmu yang dimiliki oleh bangsa lain dan tidak memiliki ilmu yang boleh dibanggakan.\nTambahnya lagi, golongan tersebut turut mendakwa bahawa bahasa Melayu semata-mata berdiri tegak dengan bahasa pinjaman bangsa asing \u2013 tidak pernah wujud bahasa Melayu yang asli. Bahasa Melayu juga dikatakan miskin dan hanya memiliki ilmu yang diasaskan oleh orang lain.\nBeliau berkata, golongan ini percaya bahawa bahasa Melayu sebelum kedatangan Islam tidak mempunyai kandungan ilmu serta tidak stabil kerana tiada tulisannya yang khusus melainkan setelah kedatangan Islam yang mewujudkan tulisan Jawi yang kemudiannya berkembang dengan pesat.\nSehubungan dengan itu, beliau dan rakan-rakannya mengusahakan satu penyelidikan untuk menyangkal dakwaaan tersebut dan membuktikan bahawa bahasa Melayu berperanan penting dalam mempertingkatkan peradaban Melayu secara keseluruhannya sejak era Hindu, Buddha dan akhirnya Islam bertapak hingga kini. Kajian dan penyelidikan tersebut membuktikan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa yang mengandungi bidang ilmu tertentu yang telah berkembang pesat hingga ke Timur Jauh.\nTulisan pallava dan rencung merupakan dua jenis tulisan awal yang telah membina peradaban bahasa Melayu yang telah dibuktikan melalui 500 batu-batu bersurat atau batu bertulis yang juga dikenali sebagai prasasti yang telah ditemui di Asia Tenggara khususnya di Sumatera, Tanah Melayu, Jawa, Bugis dan yang paling banyak di wilayah Indo-China dalam bahasa Melayu Champa. Tulisan Jawi pada batu bersurat telah digunakan sejak awal kurun 1300 Masihi. Kemudian, evolusi tulisan dan bahasa Melayu berkembang pesat melalui manuskrip, iaitu yang terdapat pada kertas, kulit kayu tar atau daun lontar. Pada abad ke-16, terdapat banyak manuskrip yang telah dihasilkan dan di dalamnya mengandungi pelbagai disiplin ilmu. Sejumlah 20 ribu manuskrip bahasa Melayu bertulisan Jawi ini telah tersebar di serata dunia kerana ilmu yang terdapat di dalamnya.\nMenurut beliau, ilmu yang cukup terkenal yang telah disumbangkan oleh peradaban bahasa Melayu ini antaranya termasuklah kamus, ilmu ekonomi, falsafah, melakukan terjemahan bagi pelbagai ilmu daripada peradaban luar dan karya yang berunsurkan sains, iaitu perubatan, astronomi dan kosmologi atau ilmu falak. Ilmu perubatan dalam bahasa Melayu telah dibawa hingga ke China dan telah terakam \u00a0menerusi 10 jilid \u00a0dalam bahasa China, iaitu hasil terjemahan ilmu perubatan dalam bahasa Melayu pada abad ke-6 Masihi.\nDemikian antara penjelasan menarik daripada Prof. Dr. Shaharir Mohamad Zain berkaitan dengan bahasa Melayu yang menjadi teras perkembangan ilmu sains sejak dahulu. Beliau telah bersiaran melalui Radio IKIM melalui segmen Resolusi yang bertajuk \u201cSains dalam Bahasa Melayu pada Abad ke-20\u201d bersama-sama pemudah cara, Norhayati Paradi pada pukul 10.15 pagi tadi." "Pernas Melabur Hampir RM1 Bilion bagi Membangunkan Industri Francais Tempatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) melabur hampir RM 1 bilion dalam 86 buah syarikat di bawah skim pelaburan Pernas sejak tahun 1998 sehingga kini. Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasamy menyatakan bahawa Pernas telah memperuntukkan RM 300 juta bagi pelaburan ekuiti bagi tempoh lima tahun dari tahun 2021 hingga 2025.\nPihak Pernas memfokuskan beberapa sektor seperti peruncitan, restoran, perkhidmatan dan jenama FTW Racing merupakan syarikat pertama bagi sektor permotoran dan sukan lasak yang menerima pelaburan dari Pernas. Beliau menyatakan bahawa pihak FTW Racing akan bertindak seperti francaisor yang akan membimbing bakal francaisi di bawahnya untuk terus berjaya dalam industri francais.\nTurut hadir memeriahkan majlis itu ialah Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif FTW Ventures Sdn Bhd, Hairolsham Abu Bakar. FTW Racing turut melancarkan aplikasi baharu kepada pelanggan untuk menempah dan membeli produk dengan cepat dan lebih mudah. Aplikasi itu merupakan aplikasi pertama seumpamanya di rantau ini yang memfokuskan kepada produk aktiviti luar dan lasak seperti jersi, seluar, topi kelendar, motosikal dan lain-lain lagi." "P&G Memperkukuh Keupayaan Usahawan Wanita dengan Perasmian Akademi Usahawan Wanita pada Tahun 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Procter & Gamble dan WEConnect International berjaya menyempurnakan edisi utama 2023 Akademi Usahawan Wanita P&G (Women Entrepreneur Academy (WEA)) melalui majlis graduasi maya.\nMajlis graduasi itu dianjurkan buat julung kalinya di Malaysia. Majlis itu turut diserikan secara maya oleh YB Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Binti Haji Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Malaysia; tetamu kehormat, Cik Low Yen Ling, Menteri Negara, Kementerian Perdagangan dan Industri & Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Singapura.\nPada tahun ini, seramai 23 orang usahawan dari Malaysia dan Singapura menyertai program itu. Mereka mempelajari pelbagai modul latihan dan pembangunan kendiri. Program yang diadakan dalam talian selama tempoh tiga minggu itu menawarkan modul yang direka bentuk oleh P&G bersama WEConnect. Program tersebut dikendalikan oleh wakil kanan P&G dengan matlamat untuk meningkatkan keupayaan usahawan wanita dan membantu mereka mengembangkan perniagaan masing-masing. Modul ini merangkumi topik pembangunan perniagaan yang luas termasuk operasi, perolehan, kemahiran kepimpinan, jualan dan penjenamaan syarikat.\nVisi P&G adalah untuk mewujudkan dunia yang lebih saksama dan inklusif. Kami mempunyai peranan dan hasrat untuk mengurangkan halangan peluang ekonomi bagi para wanita melalui langkah yang mampan dan usaha advokasi. Setelah berjaya menganjurkan Akademi Usahawan Wanita di tempat lain dalam rantau ini, kami sangat teruja untuk mengadakannya di Malaysia pada tahun 2023. Perniagaan milik wanita bukan sahaja baik untuk ekonomi, tetapi juga dapat membentuk komuniti. Hal ini demikian kerana, apabila lebih ramai wanita memimpin, mereka menjadi contoh kepada golongan yang lain untuk mengambil laluan yang sama. Dengan program P&G seperti ini yang menyediakan rangkaian sokongan dan menyerlahkan keupayaan, kita mengambil langkah ke arah kesaksamaan dan medan perjuangan yang saksama untuk wanita,\u201c kata Priyali Kamath, Naib Presiden Kanan, Penjagaan Kulit & Peribadi dan Penaja Eksekutif, Kesaksamaan & Keterangkuman, P&G Asia Pasifik, Timur Tengah & Afrika.\nAkademi Usahawan Wanita P&G ialah inisiatif utama dalam komitmen jangka masa panjang P&G ke arah persekitaran saksama dan inklusif yang bertujuan untuk merapatkan jurang ekonomi jantina. Program itu dianjurkan bersama WEConnect International, sebuah organisasi antarabangsa tanpa berasakan keuntungan yang bekerjasama dengan syarikat multinasional dan organisasi multilateral untuk menjana peluang akses pasaran bagi perusahaan perniagaan wanita di lebih 135 negara.\n\u201cUsaha mempertingkatkan perkembangan perniagaan milik wanita dapat meningkatkan saiz ekonomi Singapura sebanyak 95 bilion dolar Singapura, kira-kira 20% daripada KDNK. Golongan wanita memiliki 20.6 peratus entiti perniagaan di Malaysia dan telah menyumbang secara ketara ke arah ekonomi negara sambil mewujudkan lebih tujuh ratus ribu peluang pekerjaan. Kami amat gembira kerana kerjasama bersama P&G ini memangkin perubahan positif dalam kehidupan pemilik perniagaan wanita di Singapura dan Malaysia, dengan memberikan mereka peluang untuk membina pengetahuan dan kemahiran serta membangunkan rangkaian yang kukuh,\u201c kata Mrinalini Venkatachalam, Pengarah Serantau untuk Asia Tenggara dan Oceania, WEConnect International.\nSebagai sebahagian daripada komitmen jangka masa panjang P&G terhadap kesaksamaan dan keterangkuman, P&G sedang berusaha ke arah memperkembangkan rangkaian pembekal yang lebih pelbagai di bawah inisiatif jangka panjang yang dipanggil Program Kepelbagaian Pembekal P&G (P&G Supplier Diversity). Sejak penubuhannya pada 2016 yang dikenali sebagai Program Pembangunan Usahawan Wanita (WEDP), Akademi Usahawan Wanita P&G telah dijalankan di seluruh dunia, di Malaysia, Singapura, dan negara-negara lain di rantau ini termasuk China, India, Jepun, Afrika Selatan dan Indonesia." "Industri Halal Berpotensi Besar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIndustri halal semakin berkembang bukan sahaja di Malaysia bahkan seluruh dunia. Pasaran globalnya dijangka mencecah USD4.96 trilion (RM22.34 trilion) menjelang tahun 2030 berbanding USD2.3 trilion (RM10.28 trilion) pada tahun 2020. Pertumbuhan industri halal dunia yang rancak di seluruh dunia kerana berikutan peningkatan permintaan terhadap produk halal daripada masyarakat dunia. Bukan sahaja orang Islam yang berminat mendapatkan produk dan perkhidmatan halal tetapi orang bukan Islam juga berminat mendapatkannya. Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai potensi besar dalam industri halal ini dan sewajarnya industri ini diberikan perhatian serta diangkat sebagai salah satu sistem yang berdaya saing di negara kita.\nPerkataan halal berasal daripada perkataan Arab yang termaktub dalam al-Quran iaitu halla, yahillu, hillan, wahalalan yang membawa maksud dibenarkan atau dibolehkan. Dalam Islam, halal bukan sahaja merangkumi hal ehwal permakanan tetapi juga melibatkan keseluruhan aspek kehidupan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: \u201cWahai sekalian manusia, makanlah apa-apa yang di atas muka bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamumengikut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan merupakan musuh yang nyata bagimu,\u201d (al-Baqah, 2:168). Dengan kata lain, aspek halal dalam pemakanan merangkumi penyediaan, pemprosesan, penyimpanan, pembungkusan, pengendalian dan pengangkutan. Berdasarkan portal Rasmi Halal Malaysia, konsep halal merujuk kepada setiap benda yang terhindar dari segala najis, dan mana-mana bahagian binatang yang haram dimakan sama ada disebabkan zat aslinya atau proses penyediaan yang tidak menepati syarak.\nIndustri halal di Malaysia bermula apabila Majlis Raja-raja Malaysia telah memutuskan penubuhan satu badan yang membangunkan kemajuan umat Islam Malaysia, Urusetia Majlis Kebangsaan Bagi Hal\u00a0 Ehwal\u00a0 Agama\u00a0 Islam\u00a0 Malaysia\u00a0 yang kemudiannya diubah menjadi Bahagian Ugama, yang terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri. Hal ini apabila masyarakat Muslim menyedari perlunya satu sistem pemantauan perusahaan makanan halal. Pengesahan halal pada mulanya hanya dalam bentuk surat pengiktirafan tetapi bermula tahun 1994, pengesahan kepada pada para pengusaha diberikan dalam bentuk sijil penegsahan halal beserta logo halal yang akan digunakan atau dipamerkan. Sejajar dengan perkembangan pesat industri makanan dan keperluan umat Islam, Jabatan Perkhidmatan Awan (JPA) telah meluluskan satu bahagian baru yang khusus untuk menjaga pensijilan halal iatu, Bahagian Hub Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).\nSebenarnya, konsep halal ini bukan hanya memberi kepentingan kepada umat Islam semata-mata tetapi juga kepada manusia sejagat. Hal ini kerana konsep ini menitikberatkan jaminan kualiti sesuatu produk khususnya yang melibatkan pemprosesan, pengambilan dan penggunaan sesuatu produk atau perkhidmatan oleh seseorang Muslim. Sesuatu produk atau perkhidmatan yang mematuhi konsep ini bukan semata-mata kepada kandungan produk tetapi juga meliputi aspek kebersihan produk dan perkhidmatan tersebut yang akan memberi faedah kepada para pengguna tanpa mengira agama. Permintaan produk halal baik di pasaran tempatan mahu pun luar negara semakin meningkat dari hari ke hari sehingga mendorong ramai pengusaha bukan Islam memohon mendapatkan sijil halal di negara kita. Menurut Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Mohamed Talha, daripada sejumlah permohonan yang diterima hanya 20 peratus dalam kalangan pengusaha Islam.\u00a0 Situasi ini menyedihkan kerana orang Islam sendiri tidak berusaha untuk memohon mendapatkan sijil halal sebaliknya orang bukan Islam lebih bijak merebut peluang ini. Bahkan, menurut laporan Utusan Malaysia pada tahun 20007, hampir 90 peratus pengusaha atau pengeluar makanan di negara ini terdiri daripada golongan kaum Cina.\nSituasi itu bukan sahaja terjadi di Malaysia tetapi juga di peringkat dunia. Pengeluar makanan halal secara globalnya juga kebanyakannya terdiri daripada negara bukan Islam. Sebagai contohnegara pengeluar utama sumber daging merupakan negara bukan Islam iaitu Amerika Syarikat, Australia, India dan New Zealand. Walau bagaimanapun, Malaysia juga telah menetapkan hasrat untuk menjadi antara pusat pengeluaran makanan halal bagi keperluan pasaran tempatan dan dunia. Sebagai contohnya, Malaysia terus menjadi tunjang utama kepada gergasi pengeluar makanan dan minuman (F&B) dunia, Nestle bagi menghasil dan mengawal selia produk halalnya. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Halal Nestle dan Ketua Bahagian Halal Nestle Malaysia, Othman Md Yusoff, ketika ini ada lebih 150 daripada 477 kilang Nestle di seluruh dunia mengeluarkan produk halal dan pihak Nestle akan merujuk kepada Malaysia, iaitu Pusat Kecemerlangan Halal bagi Nestle global untuk meminta nasihat dan seterusnya menyediakan bantuan teknikal di kilang mereka untuk membantu memperoleh pensijilan halal. Nestle Malaysia juga terus komited untuk membantu Malaysia menjadi hab halal global.\nKerajaan juga terus merancakkan industri halal dalam negara dengan mewujudkan Taman Industri Halal Malaysia. Inisiatif ini telah berjaya menarik lebih daripada RM 16 bilion pelaburan setakat September 2022 dengan RM 9.5 bilion atau 59 peratus daripada jumlah ini ialah pelaburan langsung asing (FDI). Sejumlah 295 syarikat telah beroperasi di 22 Taman Halal di seluruh negara termasuklah 42 syarikat multinasional berdasarkan Laporan Kewangan Rakyat ke-111 yang dikeluarkan pada September lalu. Taman Perindustrian Halal Malaysia merupakan hab halal dunia terbesar yang meliputi kawasan seluas 80 937.13 hektar di 14 Taman Halal strategik yang sudah menerima status Halal Malaysia (Halmas) daripada Halal Development Corporation (HDC). Taman Halal ini menawarkan fasiliti infrastruktur yang bertaraf dunia, tenaga kerja berkemahiran, kemudahan menjalankan perniagaan, akses mendapatkan ramuan halal, serta insentif menarik daripada kerajaan yang sentiasa menggalakkan pembangunan halal.\nNegara kita juga berjaya mengekalkan kedudukan perolehan produk halal tertinggi berbanding 81 negara lain, berdasarkan Petunjuk Ekonomi Islam Global yang terkandung dalam laporan State of the Global Islamic Economy 2022 yang berlandaskan inisiatif digitalisasi ekonomi, pembangunan infrastruktur halal dan peningkatan fokus kerajaan terhadap sekuriti makanan dan penjagaan kesihatan. Inisiatif pembangunan halal dalam kalangan perusahaan industri kecil dan sederhana (PKS) juga tidak dilupakan dengan pihak kerajaan juga terus berusaha melahirkan lebih ramai pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PKMS) halal yang dapat bersaing pada peringkat antarabangsa dengan melaksanakan pelbagai program termasuklah Penjenamaan Digital Produk Halal PMKS dan program Peningkatan Kebolehpasaran Produk Halal PMKS. Kerajaan pada tahun ini juga telah melancarkan Wakaf Halal PKS iaitu sebuah inisiatif pembiayaan alternatif bagi PMKS dalam industri halal yang bertujuan untuk merancakkan lagi ekonomi halal di negara ini. Sebanyak RM4 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan melalui Kementerian Kewangan sebagai dana pemula kepada pelaksanaan inisiatif ini yang matlamatnya adalah untuk membantu menyediakan bantuan kewangan bagi pembelian aset perniagaan PKS seterusnya melahirkan lebih ramai pengusaha industri halal di Malaysia.\nMalaysia kini merupakan negara yang terkenal sebagai hab halal di pasaran global terutamanya melalui penganjuran beberapa program seperti Persidangan Halal Sedunia (WHBC) yang sudah memasuki tahun ke-14 penganjurannya. Pada tahun ini penganjuran WHBC dilaksanakan di Australia pada awal September sebagai antara salah satu usaha meluaskan lagi rangkaian, potensi, pasaran serta mendedahkan kepada lebih ramai kumpulan sasaran di luar Malaysia. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari daripada 200 000 PMKS terlibat dalam industri halal, hanya 8000 syarikat yang memiliki sijil halal. Manakala, hanya sebanyak 2000 buah syarikat tempatan sahaja yang berjaya menembusi pasaran eksport dan memiliki sijil halal yang menyebabkan negara kita telah kehilangan banyak peluang berpotensi dalam industri halal global sedangkan industri ini semakin berkembang luas terutamanya sejak pandemik COVID-19 melanda dunia. Masyarakat dunia tanpa mengira agama lebih prihatin akan keselamatan produk yang diambil mereka terutamanya produk makanan dan minuman.\nTuntasnya, usahawan PKMS yang beragama Islam terutamanya perlu pantas menghidu dan merebut pelbagai peluang dalam industri halal yang sebenarnya terbuka luas buat mereka. Para usahawan PKMS perlu memastikan produk keluaran mereka berkualiti dan menepati semua keperluan syarak seterusnya memohon mendapatkan sijil halal bagi produk masing-masing. Kebanyakan usahawan terutamanya usahawan Muslim tidak cuba untuk memohon sijil halal bagi produk keluaran mereka sebaliknya berbeza dengan usahawan bukan Muslim yang lebih bijak mengintai peluang industri ini yang semakin berkembang bukan sahaja di peringkat glokal malahan global." "Penyertaan Wanita ASEAN dalam Industri Pelancongan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nWanita membentuk sebahagian besar tenaga kerja dalam industri pelancongan di kebanyakan negara di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, dalam sektor pelancongan, peratusan wanita lebih cenderung kepada pekerjaan yang berstatus rendah dan bergaji rendah (UNWTO, n.d). Selain itu, wanita yang menetap di kawasan yang mempunyai potensi pelancongan yang tinggi mempunyai capaian yang terhad kepada peluang dan kemudahan seperti, perkhidmatan perniagaan, ataupun program latihan kemahiran yang diperlukan untuk mereka mendapatkan pekerjaan dalam industri perkhidmatan dan pengeluaran yang berkaitan dengan pelancongan. Walaupun wanita membentuk separuh daripada tenaga kerja yang berasaskan pelancongan di seluruh dunia, situasi itu dapat dilihat peranan penglibatan wanita agak kurang menonjol berbanding lelaki dalam memainkan peranan di pengurusan peringkat tinggi. Oleh itu, penulisan ini bertujuan untuk mengkaji \u00a0penyertaan tenaga buruh wanita di negara-negara terpilih di ASEAN berbanding dengan rantau dan negara-negara yang lain pada tahun 2019.\n\u00a0Jadual 1: Pasaran Buruh Terpilih bagi Negara-negara Utama di Seluruh Dunia\n(15-64 tahun)\nKadar Penyertaan (%)\nLelaki (15-64 tahun),\n(%)\nWanita \u2013 (15-64 tahun), (%)\n\u00a0\n\u00a0\nSumber: Badan Perjalanan & Pelancongan Dunia (2019).\nJadual 1 membandingkan penyertaan tenaga buruh wanita dalam ASEAN+3, BRICS, EU, negara-negara berpendapatan tinggi terpilih yang ditakrifkan oleh Bank Dunia, dan negara-negara Amerika Latin berbanding dengan negara-negara ASEAN yang terpilih. Bagi ASEAN, Vietnam, Thailand dan Singapura mempunyai kadar penyertaan tenaga buruh wanita tertinggi berbanding dengan negara ASEAN yang lain. Walau\u00a0 bagaimanapun, antara tiga negara yang disebutkan di atas, penyertaan buruh wanita di Vietnam dan Thailand tinggi kerana penglibatan wanita di dalam industri pelancongan yang merupakan penyumbang utama kepada KDNK kedua-dua negara ini.\nDari segi penyertaan tenaga buruh wanita, ASEAN terus ketinggalan berbanding ASEAN+3 (negara-negara Asia maju), seperti China dan Jepun, dengan masing-masing mencatatkan 68.6 dan 68.7 peratus penyertaan buruh wanita dalam sektor pekerjaan, berbanding ASEAN (dengan purata 62.6 peratus). Perkara yang sama berlaku apabila kita membandingkan ASEAN dengan BRICS (Brazil, Rusia, India dan China, blok negara-negara terkemuka ekonomi dunia yang sedang pesat membangun). Dengan China dan Rusia mencatatkan kadar penyertaan buruh wanita yang lebih tinggi berbanding ASEAN, masing-masing dengan 68.6 dan 69 peratus.\nJika kita melebarkan perbandingan dengan negara-negara Kesatuan Eropah (EU). Hal yang sama masih dapat dilihat dengan Jerman, Belanda dan Sepanyol mengatasi ASEAN dengan perbezaan yang agak besar, dengan 74, 75.5, dan 69.2 peratus. Perkara yang sama masih berlaku apabila skop perbandingan diperluaskan dengan negara-negara yang berpendapatan tinggi seperti telah ditakrifkan oleh Bank Dunia. Australia, Kanada, United Kingdom dan Amerika Syarikat hampir mencapai 75\u00a0 peratus penyertaan tenaga buruh wanita, dengan masing-masing mencatatkan 72, 74.8, 72.4 dan 66.1 peratus. Akhir sekali, apabila membandingkan penyertaan tenaga buruh wanita di ASEAN dengan negara-negara Amerika Latin. Colombia dan Peru mempunyai kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh yang lebih tinggi, dengan 64.2 dan 72.7 peratus.\nSecara keseluruhan, penyertaan tenaga buruh wanita dalam industri pelancongan di ASEAN masih agak rendah berbanding dengan rantau lain dan negara-negara lain di seluruh dunia. Kebanyakan negara dan rantau dalam Jadual 1 menunjukkan penyertaan tenaga buruh wanita di ASEAN berbanding dengan rantau dan negara-negara lain agak kurang memberangsangkan. Dapat dilihat juga bahawa penyertaan tenaga buruh wanita di Filipina, Malaysia dan Indonesia agak rendah jika dibuat perbandingan dengan negara seperti Singapura, Thailand dan Vietnam." "Peluang Tanpa Sempadan untuk Perkembangan Ekonomi di Petal Ads Summit 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Peluang tanpa sempadan untuk mengembangkan perniagaan dan industri tempatan demi melonjakkan pasaran di Malaysia diketengahkan secara utuh oleh organisasi terkemuka seperti Tourism Malaysia, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan banyak lagi sepanjang berlangsungnya Petal Ads Summit 2023, yang bertemakan \u201cGo Beyond, Go Borderless\u201d. Sidang kemuncak tersebut yang menyerlahkan landskap pengiklanan mudah alih terkini, dianjurkan oleh Huawei Malaysia dan Malaysian Digital Association (MDA), yang\u00a0 mempunyai visi yang sama untuk membina ekosistem yang lebih bagus untuk perusahaan tempatan.\nPetal Ads, yang sebelum ini dikenali sebagai HUAWEI Ads merupakan platform pengiklanan telefon pintar, telah menjemput jenama terkemuka Malaysia, rakan kongsi, pakar utama dan syarikat gergasi untuk berkongsi dan membincangkan idea masing-masing dan juga cabaran dalam ekonomi semasa. Peluang yang\u00a0 diberikan oleh Petal Ads\u00a0 untuk mempercepat dan mempertingkatkan usaha semua jenama melalui data pihak utama dalam dunia pengiklanan mudah alih yang pertama juga telah diserlahkan dalam sektor seperti pelancongan & pengangkutan, kewangan, e-dagang dan banyak lagi kepada khalayak sasaran dari serata dunia.\nIskandar Mirza, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia telah berkongsi bahawa sidang kemuncak ini tiba pada waktu yang tepat, apalagi dalam memperkenalkan peluang digital kepada perniagaan tempatan untuk mengukuhkan pengenalan jenama di antara para pelawat dari luar negara. Susulan pembukaan semula sempadan antarabangsa pada tahun lalu, Malaysia berusaha untuk mencapai kedatangan 16.1 juta pelancong pada tahun ini yang akan menjana kemasukan dana pelancongan sebanyak RM49.2 bilion, apalagi dengan pembukaan sempadan dari negara China.\nMenyentuh mengenai topik berkenaan pengiklanan mudah alih untuk menaikkan peluang tanpa sempadan, Ts. Mahadzir Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC menyatakan bahawa ekosistem yang padu dalam pengiklanan mudah alih akan menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara. Nick Zhao, Pengarah Pertumbuhan Perniagaan Ekosistem Mudah Alih HUAWEI Malaysia berkata bahawa matlamat untuk menonjolkan ekonomi Malaysia dengan penyelesaian perdagangan dunia bukannya untuk menimbulkan persaingan dengan platform lain, tetapi untuk menyediakan pilihan yang berkenaan dan sesuai dengan keinginan mereka. Oleh itu, pengenalan dua penyelesaian baharu semasa Petal Ads Summit bertujuan untuk menyemarakkan usaha industri tempatan dalam mengembangkan kesalinghubungan dunia.\nSemasa sidang kemuncak tersebut, Petal Ads telah melancarkan penjenamaan semula dari HUAWEI Ads kepada Petal Ads, memaparkan penyelesaian termaju dan tanpa sempadan kepada khalayak yang lebih luas. Melalui penjenamaan semula, Petal Ads berharap untuk membantu mengukuhkan ekosistem pengiklanan mudah alih di Malaysia sambil menyumbang teknologi terkini serta penyelesaian industri mereka untuk meningkatkan ekonomi Malaysia.\nSebagai platform pemasaran pintar semua senario, Petal Ads menyediakan pemasaran dan servis pengiklanan trafik untuk para pengiklan dan penerbit di seluruh dunia untuk membantu mereka mencapai perkembangan perniagaan dan mempertingkat nilai jenama. Perkara itu boleh dilakukan dengan leveraj senario ekosistem \u201c1+8+N\u201d HUAWEI, kemampuan aplikasi pemasaran HUAWEI, trafik pihak ketiga premium dan sumber perniagaan yang besar, dan juga teknologi pengiklanan yang maju.\nUntuk maklumat lanjut berkenaan Petal Ads, sila layari laman web rasmi: https://developer.huawei.com/consumer/en/monetizeha_source=petaladssummit_pr_y" "KUSKOP Melancarkan Pelan Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil 2023-2027\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melancarkan Pelan Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil 2023-2027 (P3PK 2023-2027) yang menggariskan strategi dan inisiatif pemerkasaan komuniti itu di Malaysia.\nMenteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyatakan bahawa pelan yang berpaksikan Dasar Keusahawan Nasional 2030 itu merupakan kesinambungan kepada Inisiatif Strategik Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil 2015-2020 sudah tamat tempoh pelaksanaannya. \u201cPelan ini mampu menyokong pertumbuhan serta pembangunan kumpulan penjaja dan peniaga kecil di negara ini dalam tempoh lima tahun akan datang. \u201cPembangunan pelan memfokuskan kepada perencanaan strategi dan inisiatif yang lebih komprehensif serta mampan dengan mengambil kira impak pandemik COVID-19 terhadap komuniti penjaja dan peniaga kecil yang terjejas teruk dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.\u201c\nTema P3PK 2023-2027 ialah \u2018Memacu Kelestarian Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil melalui Persekitaran Kondusif dan Holistik\u2019 dan dirangka berpaksikan lima teras utama dan diperkukuh dengan 17 strategi serta 29 inisiatif yang diyakini mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan ekosistem perniagaan komuniti itu di seluruh negara. \u201cBerdasarkan perancangan, pelaksanaan strategi dan inisiatif untuk tempoh lima tahun akan datang telah dicerakinkan mengikut tiga fasa garis masa iaitu langkah pantas selama setahun, sederhana (satu hingga tiga tahun) dan panjang yang mengambil masa tiga hingga lima tahun. \u201cKUSKOP percaya dengan penetapan garis masa ini, pelan ini akan memberi impak positif dan kolektif kepada setiap pihak berkepentingan dalam tempoh yang munasabah.\u201c\nBeliau turut menambah penetapan garis masa itu juga dilihat akan membolehkan transformasi dan perubahan terhadap landskap pengoperasian penjaja dan peniaga kecil yang lebih sistematik serta mampu memberi impak positif kepada kumpulan sasaran. \u201cImpak positif ini merangkumi perkara seperti psikologi kendiri penjaja dan peniaga kecil, ekosistem perniagaan yang lebih kondusif, peningkatan sokongan kewangan dan latihan pembangunan perniagaan, pembangunan modal insan serta peningkatan adaptasi budaya pendigitalan.\u201c Pelan itu dijangka mampu memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 86 000 penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara." "Promosi Inovasi Ekonomi Digital: Inisiatif Bakal Dilancarkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Inisiatif bagi mengarusperdanakan inovasi ekonomi digital dalam kalangan rakyat akan dilancarkan dalam tempoh dua minggu lagi, demikian kata Menteri Ekonomi, Yang Berhormat (YB) Rafizi Ramli ketika Majlis Perjumpaan bersama Warga Kementerian Ekonomi pagi tadi.\nTanpa mendedahkan butirannya, beliau berkata inisiatif ini dijalankan secara kerjasama antara Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sejak dua bulan lepas. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan bersama-sama Warga Kementerian Ekonomi.\n\u201c" "MyTax 2.0 Memudahkan Urusan Pembayar Cukai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 MyTax 2.0 yang dilancarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri\u00a0 (LHDN) pada November 2022 merupakan kesinambungan bagi MyTax 1.0 yang dilancarkan pada 19 November 2020.\n\nPerkara ini turut dijelaskan secara terperinci oleh Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Operasi Cukai LHDN, Rose Afdayanti Nasir dalam siri rancangan \u201cKlinik Cukai: MyTax 2.0 \u2013 Mudahkan Urusan Cukai Anda\u201d anjuran Bernama Radio baru-baru ini.\nMenurut beliau, MyTax 2.0 merupakan penambahbaikan akses platform daripada MyTax 1.0 yang bertujuan memudahkan \u00a0urusan pembayar cukai. Antara penambahbaikan yang dilakukan dalam MyTax 2.0, pihak LHDNM telah membenarkan pembayar cukai untuk memohon nombor pin secara dalam talian bagi pengguna yang pertama kali log masuk ke dalam sistem MyTax.\nPertama, permohonan boleh dilakukan menerusi e-KYC, walau bagaimanapun platform E-KYC hanya boleh digunakan melalui aplikasi yang dimuaturun menerusi telefon pintar masing-masing. Kedua, melalui cara e-CP55D. Tahun sebelum ini CPP55D perlu dilakukan secara manual, tetapi untuk MyTax 2.0 yang telah melalui penambahbaikan, pembayar cukai boleh mengaksesnya secara dalam talian.\n\u201cTeknologi sentiasa berubah, jadi kita perlu mengikut arus teknologi tersebut. Untuk MyTax 2.0, objektifnya lebih kepada kita mahu semuanya di hujung jari. Pembayar cukai tidak perlu lagi hadir ke kaunter. MyTax 2.0 lebih informatif dengan memaparkan maklumat individu pembayar cukai. MyTax 2.0 bukan sekadar individu semata-mata, kita juga mempunyai fungsi untuk pengarah syarikat melihat maklumat percukaian syarikat itu sendiri. Terdapat juga fungsi untuk pentadbir harta pusaka. Pentadbir harta pusaka ini misalnya saya diamanahkan untuk menjaga harta pusaka si A. Saya boleh kemukakan pendapatan bagi si A melalui MyTax. Sebelum ini kita hantar melalui borang manual, maka itu, kaedah ini dilihat lebih menjimatkan masa.\u201d\nAntara ciri-ciri baharu MyTax 2.0 yang perlu diketahui oleh pengguna termasuklah:" "PKNS dan Samsung Malaysia Electronics Jalinkan Kerjasama Kukuhkan Nilai Tambah Pembeli Rumah PKNS\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Samsung Malaysia Electronics menjalinkan kerjasama dengan menawarkan teknologi dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dalam pasaran Malaysia. Hubungan kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak di ibu pejabat PKNS.\nSamsung Malaysia merupakan antara jenama yang terkenal bagi peralatan rumah, elektronik dan keperluan rumah yang berkualiti tinggi. Melalui kerjasama itu, pembeli rumah boleh mendapatkan produk pada harga diskaun dengan mencipta sendiri pengalaman menggunakan produk mampan dengan teknologi pintar dan terkini. Hal itu akan memberikan manfaat kepada pembeli rumah yang mahukan peralatan rumah yang terkini dan moden.\nKerjasama itu bakal menjadikan PKNS berbeza dengan pesaing industri dalam pasaran kerana PKNS menawarkan pakej lengkap kepada pembeli rumah dengan tawaran harga diskaun untuk pembelian barang kelengkapan rumah yang membolehkan pembeli menikmati kehidupan lebih mudah. Kerjasama strategik itu juga akan memberikan peluang kepada kedua-dua pihak untuk menganjurkan program bersama seperti aktiviti pemasaran untuk memasarkan hartanah PKNS dan memperkenalkan produk baharu Samsung.\nMoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato\u2019 Mahmud Abbas manakala Samsung Malaysia Electronics pula diwakili oleh Presidennya, Denny Kim." "Rizab Antarabangsa BNM Berjumlah USD114 Bilion\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah USD114.0 bilion pada 15 Mac 2023. Paras rizab ini memadai untuk membiayai lima bulan import barangan dan perkhidmatan dan satu kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.\nBNM menyatakan bahawa komponen utama rizab antarabangsa ialah rizab mata wang asing (USD101.7 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (USD1.4 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (USD5.7 bilion), emas (USD2.3 bilion) dan aset rizab lain (USD2.9 bilion).\nSementara itu, jumlah aset berjumlah RM614.08 bilion, terdiri daripada emas dan pertukaran asing serta rizab lain, termasuk SDR (RM500.06 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.29 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM1.01 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM23.77 bilion), tanah dan bangunan (RM4.14 bilion) dan aset-aset lain (RM72.81 bilion).\nBNM turut menambah modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM158.77 bilion), mata wang dalam edaran (RM160.43 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM209.32 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM7.52 bilion), deposit lain (RM37.93 bilion), kertas Bank Negara (RM7.87 bilion), peruntukan SDR (RM28.21 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM3.92 bilion)." "Bahasa Melayu Bahasa Integrasi Perpaduan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Prof. Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Pakar Psikologi Bahasa dan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Korporat, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, cukup optimis dengan perkongsiannya yang bertajuk \u201cBahasa Melayu Penggerak Budaya Perpaduan di Persada Dunia\u201c menerusi slot Sembang KL yang dikendalikan oleh DJ Mimie.\nMenurut Dr. Jessica, dengan adanya 300 juta penutur bahasa Melayu di negara rumpun Melayu, usaha untuk merealisasikan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa\u00a0akan tercapai. Malaysia\u00a0juga pastinya berupaya menjadikan bahasa Melayu sebagai penggerak budaya perpaduan di persada dunia\u00a0kerana rakyat Malaysia itu sendiri terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan latar budaya.\nYang paling penting menurut beliau ialah keyakinan\u00a0seluruh Keluarga Malaysia untuk memahami bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan. Aras pemikiran rakyat terhadap integriti bahasa Melayu juga\u00a0berupaya membina dan melahirkan\u00a0rakyat yang berjiwa patriotik\u00a0khususnya dengan menghormati prinsip Rukun Negara.\nBahasa Melayu juga menjadi identiti bagi jati diri rakyat Malaysia tidak kira di mana-mana sahaja. Oleh itu, rakyat negara ini wajar merujuk negara dunia lain yang cukup taat akan bahasa kebangsaan mereka seperti Jepun, China, Korea dan lain-lain.\nTegasnya lagi, dengan mengutamakan bahasa Melayu, tidak bermakna bahasa asing seperti bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil dan sebagainya\u00a0dipinggirkan. Usaha menguasai pelbagai bahasa juga digalakkan namun mestilah memartabatkan bahasa Melayu kerana bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan negara ini.\nBeliau juga menyeru seluruh Keluarga Malaysia supaya menyedari akan kewujudan portal Pusat Rujukan Persuratan Melayu yang merupakan enjin carian bahasa Melayu yang dapat membantu khalayak dalam hal ehwal bahasa Melayu." "IHP Susut 0.8% pada Februari 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa Indeks Harga Pengeluar (IHP) bagi pengeluaran tempatan menyusut 0.8% dari tahun ke tahun pada Februari 2023 berbanding peningkatan 1.3% yang disaksikan semasa Januari 2023.\nKetua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa penguncupan itu disebabkan oleh kesan asas dan harga komoditi utama yang lebih rendah. Trend penurunan itu dipengaruhi oleh kemerosotan dalam sektor pertanian, perhutanan, perikanan serta perlombongan. Indeks pertanian, perhutanan dan perikanan menurun 26.1% (Januari 2023: -20.9%) dengan harga tandan buah segar merekodkan kejatuhan 40.5% pada Februari 2023. Pada masa yang sama, indeks perlombongan susut 6.5% (Januari 2023: -2.2%) disebabkan oleh kelemahan sebanyak 16.1% dalam pengekstrakan indeks petroleum mentah.\nSementara itu, indeks pembuatan meningkat 3% menjelang Februari 2023 berbanding pertumbuhan 4.5% pada bulan sebelumnya yang disumbangkan oleh kenaikan dalam indeks pembuatan produk komputer, elektronik dan optikal (8.5%). Sektor utiliti, indeks bekalan air menokok 3.7%, indeks bekalan elektrik dan gas naik sebanyak 1%. Secara bulanan, IHP bagi pengeluaran tempatan susut 0.2% pada Februari 2023 berbanding penguncupan 0.8% pada bulan sebelumnya.\nMengulas mengenai IHP mengikut peringkat pemprosesan, indeks bahan mentah untuk pemprosesan selanjutnya terus merendah sebanyak 16.9% pada Februari 2023 (Januari 2023: -12.4%) disebabkan oleh penurunan bahan bukan makanan sebanyak 20.3%. Selain itu, harga minyak sawit antarabangsa terus merundum berikutan permintaan import global yang agak lembap walaupun pengeluaran bermusim lebih rendah daripada kawasan pertumbuhan utama di Asia Tenggara. Oleh itu, sebagai salah satu pengeksport utama, harga minyak sawit Malaysia terus menjunam disebabkan oleh permintaan yang rendah dan harga minyak gas yang lebih rendah." "Mydin Beri Ganjaran Sempena Perayaan Aidilfitri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani\u00a0\u2013\u00a0Pasaraya Mydin di bawah pengurusan Iman Ikhlas (M) Sdn. Bhd\u00a0menyediakan pelbagai insiatif ganjaran, termasuk meluluskan kenaikan gaji tahunan kepada pekerjanya berkuatkuasa 26 Mac lalu.\nPengurus Eksekutif Mydin Wilayah Utara, Azmin Saduruddin berkata, buat permulaan kira-kira 200 orang pekerjanya, bermula dari pangkat penyelia ke atas di kawasan utara bakal menikmati kemudahan itu pada bulan ini. \u201cKenaikan gaji baharu itu antara\u00a05%\u00a0hingga 10% berdasarkan penilaian prestasi kerja tahunan dan kenaikan pangkat bagi setiap jawatan yang layak. \u201cMelalui kenaikan gaji tersebut, ia dapat membantu para pekerja dalam menangani kenaikan kos sara hidup dan inflasi di negara ini,\u201c katanya.\nBeliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Iftar Perdana 2023 di Mydin Taman Batik di sini semalam bagi meraikan seramai 30 orang anak yatim di daerah Kuala Muda menerima baju raya dan berbuka puasa. Selain itu, pihak Mydin turut menyediakan pemberian duit raya kepada semua kakitangan sebelum perayaan Aidilfitri kali ini bagi memudahkan mereka membeli barang keperluan masing-masing. \u201cMengenai program Menu Rahmah pula, Mydin tidak ketinggalan menyahut seruan kerajaan itu.\u201cSemua program yang menawarkan harga barang dapur lebih murah dan berpatutan diperkenalkan oleh kerajaan di Pasaraya Mydin mendapat sambutan baik sekali,\u201c katanya lagi.\nTurut hadir di majlis itu Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Ahmad Fadzli Hashim, Pengarah Urusan Mydin Wilayah Utara, Saduruddin Gulam Husen dan Pengurus Cawangan Mydin Taman Batik, Mohd Fauzi Rashid." "Malaysia Memperkukuh Kedudukan sebagai Peneraju Industri Halal Global\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Malaysia boleh terus kekal sebagai peneraju produk dan perkhidmatan halal yang memenuhi standard kualiti tertinggi kerana negara mempunyai ekosistem dan strategi yang betul untuk meraih lebih banyak perniagaan halal global.\nMenteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berasa yakin bahawa Malaysia boleh mengukuhkan kedudukan di persada ekonomi global melalui \u00c2\u00a0Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030), visi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk membangunkan platform industri dan perniagaan-kepada-perniagaan (B2B) seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS). Tambah beliau, Malaysia terkenal sebagai pembekal utama pelbagai produk dan perkhidmatan diperakui halal, seperti makanan, kosmetik, farmaseutikal, kewangan dan pelancongan. Pihak kerajaan telah melancarkan HIMP 2030 yang menggariskan pelan tindakan jelas bagi memanfaatkan secara strategik peningkatan permintaan global terhadap produk dan perkhidmatan halal, serta mengukuhkan penerajuan Malaysia dengan memanfaatkan ekosistem industri halal yang diperakui dunia untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi halal Malaysia.\nBeliau menyatakan bahawa Malaysia sekali lagi disenaraikan sebagai ekonomi halal utama dunia bagi sembilan tahun berturut-turut dan HIMP 2030 akan membantu mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju utama dunia dalam industri halal. MITI mengunjurkan industri halal berkembang kepada USD113.2 bilion menjelang tahun 2030 dengan sumbangan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 8.1% pada tahun 2025 menerusi HIMP 2030.\nSementara itu, beliau menambah bahawa MIHAS sebagai platform B2B yang semakin berkembang kukuh juga diangkat sebagai satu daripada pemacu utama yang membangunkan momentum halal dengan meneroka bidang baharu dan peluang yang belum dimanfaatkan dalam industri. Edisi MIHAS 2023 ke-19 yang dihoskan oleh MITI dan dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan diadakan selama empat hari bermula 12 September hingga 15 September 2023 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).\nPameran itu yang bertemakan Paving the Way of Halal akan menampilkan trend, teknologi dan inovasi halal terkini merangkumi 12 kluster terdiri daripada makanan dan minuman; fesyen dan gaya hidup sederhana; kosmetik dan penjagaan peribadi; teknologi dan pembungkusan makanan, selain kewangan dan teknologi kewangan (fintech) Islam, media dan rekreasi, runcit dan francais, hospitaliti dan pelancongan mesra Muslim, farmaseutikal dan perubatan, perkhidmatan dan pendaya, pendidikan, e-dagang, dan seni dan budaya Islam.\nMIHAS 2023 dijangka menjadi edisi terbesar pasca pandemik kerana ia diunjur menarik lebih 35 000 pengunjung tempatan dan antarabangsa serta 1500 reruai dan menyasarkan 40 pavilion negara." "Indeks Nilai Seunit Import Malaysia Meningkat 0.6%\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Indeks nilai seunit import Malaysia menunjukkan trend positif bulan ke bulan dengan pertumbuhan 0.6% kepada 128.7 mata pada Februari 2023 daripada 128.0 mata kepada Januari 2023.\nJabatan Perangkaan Malaysia dalam laporan Indeks Perdagangan Luar Negeri (2010=100) Februari 2023 melaporkan bahawa peningkatan dalam indeks nilai seunit import disumbangkan oleh kenaikan indeks alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (1.4%), minyak galian (1.1%) dan pelbagai barang keluaran kilang (0.3%). Walau bagaimanapun, indeks volum import merosot 2.5% berbanding bulan sebelumnya disebabkan oleh penurunan indeks pelbagai barang keluaran kilang (16.2%), barang keluaran kilang (11.4%) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (9.7%).\nIndeks volum import pelarasan bermusim mengembang 10.9% daripada 165.6 mata kepada 183.6 mata. Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import bertambah 4.6% manakala indeks volum melonjak 7.7%. Sementara itu, harga eksport Malaysia pada Februari 2023 menyusut 1.0% daripada 142.7 mata pada bulan sebelumnya kepada 141.2 mata. Menurut Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, penurunan nilai seunit eksport adalah disebabkan oleh penurunan dalam indeks minyak galian (3.6%), minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (2.7%) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (0.4%).\nSelain itu, indeks volum eksport meningkat 0.7% pada bulan yang sama, selaras dengan kenaikan indeks barang-barang keluaran kilang (16.4%), makanan (14.8%) dan bahan kimia (6.9%). Indeks volum eksport pelarasan bermusim melonjak 11.7% daripada 149.8 mata kepada 167.4. Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit eksport naik 4.4% manakala indeks volum meningkat 5.2%.\nJabatan Perangkaan turut melaporkan terma perdagangan Malaysia menguncup 1.6% bulan ke bulan kepada 109.7 mata pada Februari 2023, didorong oleh kejatuhan indeks minyak galian (4.6%), minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (4.0%) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (1.8%). Bagi perbandingan tahun ke tahun, terma perdagangan Malaysia menyusut 0.2% daripada 109.9 mata pada Februari 2022." "Jumlah Import Sarawak Meningkat 45.5% \u2013 MITI\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menjelaskan jumlah import bagi negeri Sarawak mencatatkan peningkatan sebanyak 45.5%, iaitu sebanyak RM34.29 bilion pada tahun 2022.\nMITI menjelaskan dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen bahawa peningkatan jumlah import tersebut disumbangkan oleh kenaikan import kimia dan bahan kimia, keluaran petroleum serta bijih logam dan serpihan logam.\nKementerian itu juga menjelaskan bahawa senarai barangan import utama Sarawak pada tahun 2022 menunjukkan trend yang sama, iaitu kimia dan bahan kimia yang mencatatkan RM9.33 bilion yang mewakili 27.2% syer daripada jumlah import Sarawak. Manakala bijih logam dan serpihan logam pula bernilai RM5.07 bilion dengan 14.8% syer. Seterusnya, jentera, kelengkapan dan peralatan pula mencatatkan jumlah sebanyak RM4.39 bilion bersamaan dengan 12.8% syer.\nKementerian itu menjawab soalan ahli Parlimen Mas Gading, iaitu Mordi Bimol\u00c2\u00a0 yang ingin mengetahui jumlah nilai ringgit dan senarai barang-barang import utama Sarawak bagi tahun 2021 dan 2022.\nSelain itu, nilai import Sarawak pada tahun 2021 berjumlah RM23.57 bilion dilihat meningkat sebanyak 24.2% daripada tahun sebelumnya disebabkan oleh peningkatan import kimia dan bahan kimia, bijih logam dan serpihan logam serta keluaran petroleum.\nAntara barangan import utama bagi Sarawak pada tahun 2021 termasuklah kimia dan bahan kimia yang bernilai RM5.26 bilion yang mewakili 2.3% syer daripada jumlah import Sarawak.Manakala bijih logam dan serpihan logam pula bernilai RM3.65 bilion dengan 15.5% syer selain jentera, kelengkapan dan peralatan yang mencatatkan nilai sebanyak RM2.98 bilion, iaitu 12.6% syer.\nSumber gambar: Facebook Rasmi MITI" "Pasaran Kewangan Malaysia Kekal Kukuh Walaupun Diasak oleh Volatiliti Pasaran Global\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan bahawa keadaan pasaran kewangan domestik kekal teratur pada Separuh Kedua 2022 (2H 2022) dalam keadaan volatiliti pasaran kewangan global yang ketara. BNM menambah bahawa keadaan kewangan global mengetat pada separuh kedua tahun 2022 apabila bank pusat utama meningkatkan kadar dasar secara agresif untuk menangani tahap inflasi yang tinggi. Tekanan sistem perbankan di beberapa ekonomi maju telah meningkatkan volatiliti dalam pasaran bon dan pasaran ekuiti di seluruh dunia. Perkembangan global itu turut menjejaskan pasaran kewangan Malaysia dan menyebabkan pasaran pertukaran wang asing, bon dan wang mengalami volatiliti yang lebih tinggi.\nBNM menyatakan bahawa Indeks Tekanan Pasaran Kewangan (FMSI) pada Separuh Kedua 2022 telah meningkat ke tahap yang dicatatkan pada pertengahan tahun 2020 tetapi masih kekal di bawah tahap tertinggi yang dicatatkan pada permulaan pandemik COVID-19 pada Mac 2020. Meskipun volatiliti terus ketara dalam pasaran kewangan domestik, keadaan pasaran kekal teratur dan pengantaraan aliran dua hala dalam pasaran bon dan pasaran ekuiti berjalan dengan lancar. Keadaan itu telah menyokong pengumpulan dana oleh perniagaan melalui pasaran modal.\nBNM turut melaporkan bahawa mudah tunai dalam pasaran bon kerajaan pula kekal kukuh. Keadaan mudah tunai dalam sistem perbankan sebahagian besarnya tidak terjejas oleh penarikan balik fleksibiliti pengawalseliaan yang diberikan semasa pandemik dan tekanan perbankan di Amerika Syarikat dan Eropah baru-baru ini. Sementara itu, pasaran ekuiti menyaksikan pelonggaran keadaan kewangan global menjelang akhir tahun 2022, kegiatan ekonomi dalam negeri yang lebih kukuh dan sentimen pelabur yang positif berikutan peralihan politik yang teratur susulan Pilihan Raya Umum Ke-15 telah memberikan sokongan kepada pasaran ekuiti domestik pada suku keempat tahun 2022.\nSelain itu, pasaran bon korporat terus berfungsi secara teratur dalam menyokong aktiviti pengumpulan dana korporat pada Separuh Kedua 2022. Terbitan bon korporat kasar meningkat dengan mendadak (Ogos 2022-Januari 2023: RM94.7 bilion; Ogos 2019-Januari 2020: RM48.8 bilion), sebahagian besarnya didorong oleh satu terbitan besar oleh pengendali tol lebuh raya utama pada bulan Disember (RM25.2 bilion). Dalam pasaran pertukaran asing, pergerakan ringgit terus dipengaruhi oleh faktor luaran berikutan pertumbuhan global dan prospek inflasi yang berubah-ubah.\nRinggit mencatatkan paras terendahnya apabila ditutup pada 4.7480 pada awal November 2022 ketika dolar Amerika meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 20 tahun susulan tindakan monetari yang diperketat secara agresif oleh Bank Pusat Amerika Syarikat (AS), Rizab Persekutuan (Fed). Nilai ringgit seterusnya menjadi kukuh menjelang akhir tahun 2022 terutamanya susulan muncul tanda-tanda bahawa Fed mungkin memperlahankan keagresifan dasar monetari AS." "Kerjasama Shell Fleet Solutions dengan DHL Express ke Arah Perniagaan Mampan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Shell Fleet Solutions memeterai kerjasama strategik dengan DHL Express Malaysia bagi menyokong usaha syarikat menuju ke arah kemampanan dengan langkah mengurangkan emisi dalam operasi fleet syarikat itu. Kedua-dua syarikat itu akan menggunakan pengetahuan, kepakaran dan infrastruktur global mereka bagi menyokong pertumbuhan perniagaan mampan menerusi penyahkarbonan fleet dan peningkatan piawaian keselamatan dalam penyelesaian pengelektrikan.\nPerjanjian itu akan menyediakan rangka kerja untuk meneroka kerjasama dalam inisiatif neutral karbon lain. Pengurus Besar Shell Fleet Solutions Malaysia, Joanna Lean menyatakan bahawa pihaknya berhasrat untuk menyokong fleet di Malaysia dalam peralihan penyahkarbonan memandangkan mereka berhadapan dengan cabaran untuk mengimbangi kos dan keperluan penggunaan penyelesaian mobiliti rendah karbon. Tambahnya lagi, program yang menyokong inisiatif itu merangkumi penyelesaian inovatif oleh Shell Recharge Solutions, Shell Telematics dan Shell Nature Based Solutions.\nPengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo menyatakan bahawa syarikat itu menyasarkan untuk mencapai emisi sifar bersih menjelang tahun 2050. Tambahnya lagi, penggunaan pacuan, bahan api alternatif dan penyelesaian tenaga bersih merupakan bidang yang penting untuk mencapai matlamat itu." "MIDA, DHL Express Jalin Kerjasama Menarik Pelaburan Berkualiti Tinggi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah memeterai Memorandom Persefahaman (MoU) \u00a0bersama dengan DHL Express Malaysia untuk mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi yang ideal bagi pelaburan asing (FDI) yang berkualiti tinggi.\n\nTimbalan Ketua Pegawai Eksekutif penggalakan dan fasilitator pelaburan\u00a0 MIDA, Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata, tujuan perkongsian tersebut adalah untuk mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab rantaian bekalan di rantau ini.\n\u201cKerjasama yang dibuat dengan DHL Express penting kerana apabila MIDA menjalankan aktiviti penggalakan pelaburan di seluruh dunia, Malaysia harus diletakkan sebagai pusat pengeluaran global serta sebagai hab pengedaran serantau dan global,\u201d katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian MoU tersebut.\nKerjasama ini merupakan penyedia perkhidmatan bertaraf dunia dan akan menambah nilai kepada MIDA sendiri dalam perundingan untuk menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara.\nMoU tersebut telah dimeterai antara Timbalan ketua pegawai eksekutif penggalakan dan fasilitator pelaburan\u00a0 MIDA, Sivasuriyamoorthy Sundara Raja dengan pengarah urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, iaitu Julian Neo dan disaksikan\u00a0 oleh pengerusi MIDA, Tan Sri Sulaiman Mahbob.\nSivasuriyamoorthy menyatakan bahawa DHL Express akan menyediakan perkhidmatan menyeluruh termasuk pengangkutan fret udara dan laut, hab pusat data serta kemudahan canggih yang akan membantu MIDA menarik lebih banyak FDI ke Malaysia.\nTambah beliau lagi, pihak MIDA juga berharap agar dapat bekerjasama dengan pelanggan DHL Express dan meyakinkan mereka untuk datang dan beroperasi di Malaysia.\nKerjasama yang dimeterai ini juga akan membuka ruang yang lebih banyak peluang pelaburan seiring dengan 16 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang dilaksanakan dan ini termasuklah Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) baru-baru ini.\n\u201cRCEP dan CPTPP membuka pasaran baharu di negara seperti Mexico, Kanada, Peru dan Chile dan hal ini memberikan kelebihan langsung daripada kerjasama ini dengan adanya perkhidmatan DHL untuk pasaran eksport.\u201d\nPengarah urusan DHL Express Malaysia dan Brunei,\u00a0 Julian Neo menjelaskan MoU tersebut merupakan garis komitmen bersama untuk menguatkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi FDI serta mengukuhkan sumbangan industri logistik.\n\u201cSebagai penyelia perkhidmatan ekspres antarabangsa utama dunia, DHL akan membantu memudahkan menjalankan perniagaan dan menyediakan akses lebih besar kepada syarikat untuk pasaran Asia Tenggara dan Asia Pasifik yang menguntungkan.\u201d" "Dewan Rakyat Meluluskan RUU Kewangan 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Rang undang-undang (RUU) kewangan 2023 telah diluluskan dewan rakyat pada hari ini melalui undian suara. RUU tersebut telah dibentangkan oleh Timbalan Menteri kewangan, Steven Sim Chee Keong bagi meminda meminda Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Setem 1949, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967 dan Akta Kewangan 2018.\nTimbalan Menteri kewangan membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua adalah tentang cadangan untuk menguatkuasakan langkah-langkah cukai yang telah diumumkan dalam belanjawan 2023 dan untuk melaksanakan keputusan kerajaan untuk menambahbaik pentadbiran cukai yang memerlukan pindaan kepada akta yang berkaitan.\nBeliau menjelaskan bahawa RUU berkenaan mengandungi 29 fasal yang dibahagikan kepada enam bab yang meminda lima akta yang dinyatakan. Selain itu, beliau juga memaklumkan pindaan ini berbangkit selepas kerajaan memperhalusi semula secara teliti langkah cukai bagi Belanjawan 2023 dan\u00a0 terdapat pindaan terkini yang\u00a0 akan dicadangkan pada peringkat Jawatankuasa.\u201cPindaan akta tersebut adalah melibatkan subsekyen 3(3) Akta kewangan 2018 [akta 812] dengan menggantikan perkataan \u201cdan 2022\u201d dengan perkataan \u201c2022,2023 dan 2024\u201d bagi melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu untuk simpanan bersih ke dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN),\u201dkatanya hari ini di Dewan Rakyat. Tambahan beliau lagi, kerajaan akan meneliti semula keperluan untuk melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu simpanan bersih tahunan SSPN selepas 2024.\nManakala, bagi pindaan Akta Cukai Pendapatan 197 melibatkan 15 fasal iaitu Fasal tiga hingga 17 bertujuan meminda akta ibu dan tarikh kuatkuasa bagi fasal 16(f) di bawah fasal subfasal (1) dan subperenggan 4(a)(iv) di bawah subfasal (1) di syor untuk dipinda pada peringkat Jawatankuasa. Walau bagaimanapun, perenggan 46 (1)(k) akan dikekalkan berikutan keputusan kerajaan untuk membenarkan terus potongan cukai ke atas SSPN dan di syor untuk dipinda pada peringkat Jawatankuasa.\nBagi pindaan Akta Keuntungan Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 pula ia membabitkan dua fasal iaitu Fasal 18 bertujuan menyatakan pindaan di buat mula berkuat kuasa apabila berkuat kuasanya akta berkenaan. Pindaan Akta Petroleum (Cukai pendapatan) 1967 pula mengandungi enam fasal, antaranya ialah Fasal 27 yang bertujuan membenarkan pembayar cukai mengemukakan apa-apa borang ditetapkan melalui perantaraan elektronik atau secara penghantaran elektronik. \u201cDasar ini juga akan dilihat semula pada tahun depan dan maklum balas juga akan diambil daripada semua pihak termasuk pembangkang untuk membuat keputusan seterusnya, \u201dkatanya." "Pelaburan Syarikat China di Malaysia Tingkat Hubungan Dua Hala\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0 Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Aziz berkata peningkatan minat syarikat China melabur di Malaysia memberi petanda baik kepada negara dan telah meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China serta telah disokong oleh keyakinan terhadap kerajaan Perpaduan negara.\nBeliau berkata menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri\u00a0 (MITI) akan terus membantu memudahkan urusan para pelabur untuk menjalankan perniagaan di negara ini bagi menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sentiasa menyokong industri, perdagangan. Beliau juga menzahirkan ucapan tahniah kepada MIDA dan semua agensi berkaitan dalam membantu mendapatkan pelaburan berpotensi yang bernilai RM 170 bilion. \u201cMITI, MIDA dan agensi lain kini perlu mula bekerja keras untuk membuat susulan dan seterusnya merealisasikan pelaburan ini dalam tempoh masa yang singkat,\u201c katanya.\nMenerusi misi perdagangan dan pelaburan di China baru-baru ini, ketua pegawai eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman berkata lebih 20 syarikat telah menunjukkan minat yang serius untuk melabur dalam ekonomi Malaysia yang sedang berkembang pesat melibatkan bidang seperti produk petrokimia, produk solar dan kaca, pusat data antarabangsa dan bahagian-bahagian dan komponen kenderaan elektrik.\nSyarikat Zhejiang Zhink Group, LONGi, GDS, Shanghai DC Science dan ZTE Corporation\u00a0 merupakan antara syarikat yang menyatakan minat yang mendalam untuk melabur di Malaysia dan kesemua syarikat ini mengakui potensi yang besar di Malaysia. Datuk Arham Abdul Rahman menyatakan pencapaian ini menunjukkan komitmen kerajaan Malaysia untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi daripada pengguna teknologi digital utama dunia yang akan menempatkan satu pertiga daripada syarikat unicorn dunia.\nPada tahun 2022, Malaysia mencatatkan sebanyak RM 264.4 bilion pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan primer dan daripada jumlah tersebut RM 55.4 bilion telah di sumbang oleh China yang melibatkan sejumlah 91 projek. MIDA berkata usaha niaga ini berpotensi mewujudkan 11 545 peluang pekerjaan baharu bagi tenaga kerja Malaysia yang sekali gus dapat mengukuhkan lagi struktur ekonomi negara." "Majlis Pelancaran Novel Di Mana Ranting Dipatah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0 Novel dari China, yang\u00a0 diterjemahkan kepada bahasa Melayu yang bertajuk Di Mana Ranting Dipatah, karya tersohor penulis Lu Yao, kini boleh diperoleh di pasaran. Lu Yao mula menulis novel ini pada tahun 1975 dan mengambil masa selama 13 tahun untuk disiapkan. Pada tahun 1991, buku ini berjaya dinobatkan sebagai penerima Hadiah Sastera Mao Dun, yang merupakan hadiah kesusasteraan tertinggi di China. Karya ini berkisar tentang kehidupan rakyat biasa yang tidak mengenal erti putus asa dan memberikan inspirasi kepada masyarakat.\nSehubungan dengan itu, majlis pelancaran novel Sasterawan Negara China pertama ini dianjurkan oleh Han-Beijing Publishing House dan disempurnakan oleh Dato\u2019 Dr. Mah Hang Soon, iaitu Timbalan Menteri Pendidikan II pada 21 April 2021.\nMenurut Dato\u2019 Dr. Mah Hang Soon, karya itu dapat menjadi penyuntik semangat kepada rakyat di China, Malaysia dan seluruh dunia agar tabah mengharungi perjuangan dalam menangani pandemik COVID-19. Kementeriannya turut menyokong usaha mempromosikan lebih banyak karya dari China kepada pembaca di Malaysia. Novel terjemahan itu diterbitkan dengan kerjasama Kumpulan Penerbitan Beijing China dan Pusat Kebudayaan Han Malaysia. Beliau turut berharap agar karya sastera Malaysia dapat dibawa kepada pembaca di China bagi mempererat persahabatan kedua-dua negara.\nSementara itu, Pengerusi Pusat Kebudayaan Han, Datuk Goh Hin San pula berkata, kesusasteraan mampu merentas perbezaan negara, budaya, warna kulit, kaum dan zaman. Kesusasteraan China bukan hanya khazanah rakyat China, malah boleh menjadi khazanah dunia melalui penterjemahan. Penterjemahan buku ini disifatkan sebagai contoh yang baik dalam usaha murni untuk saling mempelajari tamadun berbeza.\nPertukaran kesusasteraan secara dua hala ini diyakini mampu mempertingkatkan persefahaman rakyat pelbagai negara, memberikan sumbangan kepada pewujudan Komuniti Berkongsi Nasib yang terbuka, inklusif, seimbang dan saling menguntungkan." "Martabatkan Bahasa Melayu melalui Nyanyian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Rakyat Malaysia bertanggungjawab untuk mendaulatkan dan memartabatkan bahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan negara ini tidak kira di mana-mana sahaja. Sementelah lagi, negara ini sudah mencapai kemerdekaan selama 65 tahun, maka seharusnya semua warga Malaysia dapat menyemai budaya dan bahasa dalam diri serta menguasai bahasa Melayu dengan baik tidak kira dalam apa-apa jua bidang yang diceburi, sama ada sebagai seorang anak seni, pelukis, penulis lirik, dan sebagainya.\nMuzik merupakan antara medium yang amat penting untuk menyebarkan bahasa dan budaya kebangsaan kerana muzik sentiasa ada di sekeliling kita. Tidak semestinya genre irama Malaysia sahaja yang perlu berelemenkan bahasa Melayu, penggubah dan penulis lirik lagu dalam genre lain juga perlu menitikberatkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dalam menghasilkan sesuatu karya.\nMenurut Suki Low, seorang artis tanah air memilih untuk menyanyi dalam bahasa kebangsaan disebabkan rasa bangga serta rasa bertanggungjawab terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Katanya lagi, bahasa itu jiwa bangsa dan beliau ingin membawa identiti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ke seluruh dunia. Beliau berpendapat, semangat jati diri bahasa Melayu yang kuat dalam diri yang disampaikan melalui lirik lagu akan membawa kepada kesepaduan rakyat Malaysia.\nTambahnya lagi, beliau sentiasa bersungguh-sungguh dalam mempelajari bahasa Melayu dengan membuat rujukan bahasa melalui kamus atau merujuk Pusat Rujukan Persuratan Melayu dan bertanyakan pakar bahasa jika menghadapi masalah berkenaan dengan ejaan dan tatabahasa bahasa Melayu.\nAdalah penting untuk kita menguasai bahasa Melayu dan memahami lirik lagu serta menjiwainya dengan baik dan betul kerana sekiranya perkataan atau sebutan kita tidak tepat semasa menyanyi dalam bahasa Melayu, maka maksud yang hendak disampaikan itu akan terpesong daripada pengertiannya yang sebenar.\nSebagai penyanyi, seseorang itu juga perlu ada rasa tanggungjawab terhadap penguasaan ilmu yang banyak dalam bahasa kebangsaan. Hal ini demikian kerana seseorang yang menyanyi dengan menggunakan bahasa yang bercampar aduk atau bahasa rojak akan mencemarkan keindahan lirik lagu bahasa Melayu dan seterusnya merosakkkannya.\nMenurut beliau lagi, antara cabaran yang dihadapi dalam memartabatkan bahasa Melayu termasuklah sikap masyarakat negara ini yang begitu kreatif dalam mencipta sesuatu perkataan dan seterusnya merosakkan keindahan bahasa Melayu. Golongan muda khasnya lebih terpengaruh dengan budaya luar disebabkan mereka aktif dalam media sosial. Sehubungan dengan itu, platform media sosial perlu dimanfaatkan sebaik-baik mungkin dengan penggunaan bahasa Melayu yang baik dalam lagu. Hal ini sedikit banyak dapat menyuntik rasa cinta terhadap bahasa kebangsaan.\nBeliau juga mempunyai banyak perancangan untuk menyampaikan lagu-lagu dalam bahasa Melayu bagi memeriahkan seni tanah air dalam bahasa kebangsaan. Demikianlah antara penerangan menarik oleh Suki Low ketika bersiaran secara langsung dalam rancangan Peka Bahasa: Bicara Kita 2022 \u2013 \u201cBahasa dan Lagu\u201d menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 9.00 malam tadi." "BNM Nilai Kesan Kenaikan OPR Sebelum Mengambil Tindakan Seterusnya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Penolong Gabenor BNM, Fraziali Ismail menyatakan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan menilai kesan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 100 mata asas (bps) pada tahun 2022 ke atas ekonomi Malaysia sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.\nBeliau menyatakan bahawa OPR itu telah dinaikkan secara beransur-ansur kepada 2.75% dan bank pusat mesti menilai kesannya terhadap keadaan ekonomi semasa. Dasar monetari akan terus mengimbangi risiko inflasi domestik dan pertumbuhan ekonomi. Justeru, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM akan terus memantau kesan pelarasan OPR yang lepas ke atas ekonomi. Setakat ini, kesan pelarasan OPR yang lepas terhadap keadaan kewangan adalah teratur, tiada tanda-tanda pengetatan yang keterlaluan bagi penggunaan dan pelaburan, tanda-tanda penyederhanaan dalam kekuatan tekanan inflasi susulan jangkaan normalisasi inflasi, namun inflasi kekal tinggi.\nMPC BNM dijadual mengadakan mesyuarat ketiga pada 2 Mei dan 3 Mei 2023. Beliau turut menambah normalisasi tahap akomodasi dasar monetari yang seterusnya akan terlihat menerusi keadaan yang berubah, dan pada masa sama, MPC kekal berwaspada dengan faktor kos termasuk yang timbul daripada perkembangan pasaran kewangan yang boleh menjejaskan prospek inflasi. Oleh itu, penting untuk menguruskan inflasi dalam memastikan pertumbuhan jangka panjang yang mampan." "WTCKL Peneraju Industri Acara Perniagaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat untuk mengadakan Lawatan Perdana ke World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) pada petang semalam.\nKeberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengurusan Tertinggi WTCKL yang diketuai oleh Dato\u2019 Sri Dr. Haji Irmohizam Haji Ibrahim selaku Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL. Dalam lawatan itu, Dato\u2019 Sri Dr. Haji Irmohizam telah mempersembahkan sedikit penerangan mengenai bangunan WTCKL\u00a0 termasuk sejarah dan rancangan masa depan WTCKL dalam industri acara perniagaan. Beliau berharap dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perlis ke WTCKL ini dapat menyerikan lagi suasana di WTCKL. Beliau juga berharap untuk menyampaikan mesej kepada Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perlis tentang betapa pentingnya industri acara perniagaan yang merupakan satu daripada industri yang menyumbang kepada ekonomi negara.\nWTCKL pernah menjadi tuan rumah dan hos dalam beberapa acara perniagaan yang utama seperti Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) 2023 yang telah mencecah rekod sebanyak 671 pempamer dari 11 buah negara dan merupakan pameran perabot yang terbesar di Asia Tenggara. Selain itu, Ekspo Penyelesaian Runcit Malaysia (RESONEX) yang mempamerkan teknologi dan produk penyelesaian runcit yang mendapat penyertaan wakil dari negara luar.\nWTCKL sangat komited untuk menerajui acara perniagaan di Malaysia yang dijangka akan menarik 5.9 juta delegasi dan menyumbang kepada impak ekonomi dengan anggaran sebanyak RM42.12 bilion serta mewujudkan kira-kira 25 833 peluang pekerjaan pada tahun 2023.\nBeliau bersama-sama seluruh warga WTCKL menjunjung kasih atas kesudian keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perlis ke WTCKL buat julung kalinya. Tuanku Pemangku Raja turut meluangkan masa melawat galeri lukisan dan menerima taklimat yang disampaikan oleh Azmi Sulong." "Kadar Antara Bank Jangka Pendek Ditutup Stabil Susulan Operasi BNM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kadar antara bank jangka pendek ditutup stabil berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan. Mudah tunai dalam sistem konvensional meningkat kepada RM38.70 bilion daripada RM35.48 bilion, manakala mudah tunai dana Islam berkurangan menjadi RM27.81 bilion daripada RM32.15 bilion.\nPada awal hari ini, bank pusat menjalankan tender pasaran wang konvensional, tender Program Murabahah Komoditi (CMP), dua tender Qard dan tiga tender repo berbalik. Selain itu, ia turut mengumumkan ketersediaan repo berbalik, perjanjian jual dan beli semula serta kemudahan Murabahah komoditi bercagar untuk tempoh satu hingga tiga bulan.\nPada pukul 4 petang, BNM menawarkan tender pasaran wang konvensional bernilai sehingga RM38.30 bilion dan tender pasaran wang Murabahah RM27.80 bilion, kedua-duanya untuk wang sehari. Pada 7 April 2023, Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYORi) ialah 2.75%." "Kerjasama Bursa Malaysia \u2013 Petronas Memacu Amalan ESG\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bursa Malaysia Bhd. telah menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bagi membantu usaha menerima pakai amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) melalui Platform Kelestarian Kecerdasan Berpusat (CSIP) .\nKetua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhammad Umar Swift berkata CSIP yang digunakan\u00a0 dalam kerjasama itu bertujuan untuk memudahkan usaha penyahkarbon Petronas dalam rantaian bekalannya. Beliau turut menggalakkan pemimpin industri lain, terutamanya mereka yang mempunyai kepentingan dalam rantaian bekalan global untuk turut menggunakan platform tersebut dan menerajui perubahan dalam bidang masing-masing.\nPresiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas \u00a0Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, kerjasama dengan entiti yang berpandangan ke hadapan seperti Bursa Malaysia dilihat mampu menawarkan platform tersebut ke seluruh sektor perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas untuk terus menerima pakai dan mengukuhkan pematuhan ESG bagi menambah baik operasi.\nDengan kerjasama Kumpulan Bursa Saham London, Bursa Malaysia menyatakan bahawa mereka sedang membangunkan dan menguji platform tersebut bagi membolehkan syarikat korporat dan pembekal yang tersenarai atau tidak tersenarai pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa mengambil kira impak pelepasan karbon mereka seterusnya mendedahkan data ESG yang standard.\nDalam kenyataan bersama-sama Bursa Malaysia dan Petronas semalam, platform tersebut diwujudkan bertujuan untuk memudahkan syarikat yang dalam usaha pendedahan kemampanan, di samping menggalakkan pengurusan pelepasan karbon yang berkesan termasuklah daripada rantaian bekalan. Melalui langkah ini, Petronas akan menyertai platform Program Pengguna Awal untuk menyokong pelaporan dan pendedahan ESG yang standard serta mengkaji pewujudan nilai yang seterusnya dalam rantaian bekalannya. Hal ini dijangka dapat mengukuhkan lagi penerimaan syarikat Malaysia melalui ketelusan data ESG yang lebih baik.\nSumber gambar: PETRONAS" "Gentari dan Lotus Cars Bekerjasama dalam Infrastruktur Mobiliti Hijau\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Anak syarikat Gentari Sdn. Bhd. (Gentari), Gentari Green Mobility Sdn. Bhd. menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Lotus Cars Malaysia (Lotus Cars). Gentari menyatakan bahawa mereka akan meneroka kerjasama infrastruktur mobiliti hijau untuk pengecasan kenderaan elektrik (EV) di kemudahan Lotus Cars dan kawasan awam termasuklah pakej pengecasan EV untuk pemilik EV Lotus.\nSelain itu, mereka menyasarkan kerjasama itu berpotensi untuk meneroka pengenalan penyelesaian armada kenderaan sifar pelepasan di Malaysia, penggunaan tenaga boleh diperbaharui di kemudahan Lotus Cars dan platform digital dengan syarikat tersebut. Ketua Pegawai Mobiliti Hijau Gentari, Shah Yang Razalli menyatakan bahawa perkara itu akan memudahkan pemandu kereta berprestasi tinggi Lotus Cars untuk mengurangkan jejak karbon mereka.\nPengurus Besar Lotus Cars, Tengku Ezan Ley menyatakan bahawa kerjasama tersebut membolehkan syarikatnya membolehkan pelanggan EV dengan lebih baik bermula dengan Eletre Hyper-SUV. Peningkatan ketersambungan kepada rangkaian EV Gentari yang berkembang pesat akan membantu meningkatkan kemudahan pelanggan supaya dapat merancang perjalanan jauh dan berkesan. Gentari yang diperkenalkan pada tahun 2022 pada masa ini menggunakan lebih 150 infrastruktur pengecasan di 35 lokasi di Malaysia dan 160 infrasktuktur pengecasan di India.\nGentari menyasarkan untuk menguasai 10% bahagian pasaran dan merancang untuk membuat pemasangan 9000 tempat pengecasan awam menjelang tahun 2026." "Proton Melancarkan Kempen Servis Rahmah dengan Pakej Berharga RM150\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd melancarkan Kempen Proton Rahmah 2023 untuk menggalakkan pemilik menghantar kenderaan mereka ke pusat servis yang bertauliah bagi pemeriksaan keselamatan 40 mata percuma dan pakej servis berharga RM150.\nKempen yang bermula hari ini hingga 31 Mei itu dilancarkan bagi menyahut inisiatif kerajaan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah. Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan bahawa pemilikan kenderaan merupakan perkara yang penting untuk kehidupan seharian ramai rakyat Malaysia dan perbelanjaan yang berkaitan dengannya, seperti pembayaran balik pinjaman bank, minyak, tol dan penyelenggaraan merupakan komponen utama perbelanjaan isi rumah.\nBeliau turut menambah menerusi pelancaran kempen itu, pemilik Proton terutama golongan B40 akan dapat memeriksa kenderaan mereka secara percuma dan membeli pakej servis mampu milik, yang akan meringankan beban kewangan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri. Beliau berbesar hati kerana Proton merupakan syarikat automotif pertama yang menyokong inisiatif kerajaan dan berharap jenama lain akan mengikuti langkah itu untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat yang memerlukan.\nSementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah menyatakan bahawa keputusan Proton untuk melancarkan kempen itu selaras dengan usaha syarikat untuk menawarkan nilai tambahan kepada pelanggan dan penting untuk menyediakan produk dan perkhidmatan mampu milik kepada orang ramai. Kempen inklusif ini memastikan kos dikongsi secara sama rata antara Proton Edar dan pengedar sebagai sebahagian daripada aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). Pihaknya berharap dengan kempen ini, pemilik digalakkan servis kereta mereka di pusat servis yang bertauliah sebelum memulakan perjalanan balik kampung semasa tempoh perayaan.\nKempen Proton Rahmah 2023 menyasarkan kepada pemilik Proton Persona, Proton Iriz, Proton Exora, Proton Saga, serta model terdahulu termasuk Proton Inspira, Proton Waja dan Proton Wira." "Penerbangan Sulung ke Kuala Lumpur oleh TransNusa Indonesia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Syarikat penerbangan Indonesia, PT TransNusa Aviation Mandiri (TransNusa) telah membuat penerbangan antarabangsa sulungnya dari Jakarta ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).\nPada peringkat awal, TransNusa akan mengendalikan dua penerbangan pergi balik setiap hari untuk laluan Jakarta-Kuala Lumpur dengan semua penerbangan berkenaan mempunyai slot masa penerbangan utama yang mendapat permintaan tertinggi. Syarikat penerbangan tambang rendah itu akan diperkenalkan sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan premium bagi laluan antarabangsanya.\nPenerbangan akan berlepas dari Jakarta ke Kuala Lumpur pada pukul 7 pagi dan pukul 4.50 petang waktu tempatan, manakala perlepasan harian Kuala Lumpur ke Jakarta akan tiba pada pukul 10.40 pagi dan pukul 10.35 malam, dengan harga tiket promosi semasa ditetapkan serendah RM229.\nKetua Pegawai Eksekutif TransNusa, Datuk Bernard Francis menyatakan bahawa perkhidmatan yang ditawarkan syarikat penerbangan itu melebihi daripada syarikat penerbangan tambang rendah lain untuk laluan antarabangsanya. Selain laluan Kuala Lumpur-Jakarta, syarikat penerbangan itu kini mengendalikan 10 penerbangan harian untuk laluan Jakarta-Bali dan tiga kali sehari bagi laluan Jakarta-Jogjakarta." "Hab Pusat Data Mampu Tarik Pelabur ke Malaysia \u2013 RHB\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 RHB Investment Bank Bhd. berpendapat bahawa Malaysia semakin berkembang pesat sebagai hab pusat data di Asia dengan sokongan dasar properniagaan yang dapat menarik dan mengekalkan pelabur pusat data.\nAntara faktor penting bagi industri pusat data adalah dengan adanya pekerja yang berkemahiran dan berpengetahuan di Malaysia dan hal ini memperlihatkan kelebihan daya saing yang ketara dalam memangkin pelaburan asing yang lebih besar.\nKerajaan perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat komited untuk mempercepatkan penerimaan digital di negara ini dan hal ini merupakan petanda yang baik bagi industri pusat data domestik. Selain itu, hal ini juga menunjukkan pandangan yang positif yang disokong oleh dasar pelaburan baharu yang diumumkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada Oktober 2022, iaitu kerajaan sedang berusaha meningkatkan peluang pekerjaan bernilai tinggi.\nSementara itu, syarikat terkemuka bagi pusat data seperti GDS, Equinix dan Yondr Group telah mengeluarkan modal bagi membina kemudahan pertama mereka di Malaysia manakala perkhidmatan laman sesawang Amazon dan Microsoft pula komited untuk membina rangkaian teknologi awan di negara ini.\nIdea pelaburan dalam ruang lingkup pusat data ini secara semula jadi turut melibatkan syarikat telekomunikasi talian tetap memandangkan pusat data adalah satu aset utama bagi perkhidmatan dan penyelesaian berkaitan perusahaan yang melengkapkan aset kabel dasar laut yang luas." "FAMA Kedah Pilih Sembilan Lokasi Khas Jualan Aidilfitri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani \u2013 Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Kedah memilih sebanyak sembilan lokasi yang bersesuaian bagi memberikan peluang kepada penduduk tempatan untuk membeli pelbagai barangan, termasuk barangan segar bagi keperluan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.\nProgram Jualan Syawal Madani 1444H Peringkat Negeri Kedah anjuran FAMA itu dilancarkan oleh Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari di Pasar Tani Jalan Petri, Sungai Petani, hari ini.\n\u201cApabila diadakan program sebegini, penduduk berbagai kaum dapat membeli barangan dapur yang segar dengan harga yang lebih murah berbanding dengan tempat lain,\u201c ujar Pengarah FAMA Negeri Kedah, Isa Hamzah dalam ucapannya.\nProgram tersebut turut dianjurkan di lapan lokasi jualan lain yang terpilih, iaitu di Pasar Tani Guar Cempedak pada 16 hingga 21 April, Pasar Tani Kulim pada 17 April, Agrobazaar Rakyat Selama dan Pasar Tani Pendang pada 18 April, Pasar Tani Taman Wira Alor Setar dan Pasar Tani Baling pada 19 April serta Medan Food FAMA Alor Setar dan Pasar Segar Mr Jasem Langkawi pada 20 April 2023.\nIsa Hamzah turut menambah, \u201cWalaupun berbaki enam hari lagi untuk menyambut Syawal pada tahun ini, pengunjung dapat membeli barangan segar dan membuat persediaan lebih awal.\u201c\nPelbagai aktiviti menarik turut diadakan seperti aktiviti gotong-royong memasak pulut kacau untuk edaran kepada para pengunjung dan cabutan bertuah berupa barangan dapur dan kuih raya kepada 100 orang pengunjung yang bertuah.\nDi samping itu, pengunjung juga dapat melihat Pertandingan Gerai Raya, Kempen Lebihan Makan Sayur-sayuran Tempatan, Demonstrasi Penyediaan Kerepek Pisang Kawah dan Kuih Sepit oleh usahawan tempatan.\nTurut hadir ialah Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Kedah, Zaiton Yahya, Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan dan Pegawai Daerah Kuala Muda, Ilias Shuib." "KPDN Membuat Tinjauan Pelaksanaan Skim Harga Maksimun Musim Perayaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBaling \u2013 Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan dalam Negeri\ndan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam meninjau pelaksanaan dan\npematuhan terhadap Skim Harga Maksimun Musim Perayaan (SHMMP) di Pasar Raya Econsave Baling semalam.\nMenurut beliau, tinjauan seumpama ini dapat memberi pelbagai kebaikan\nkepada orang ramai agar membeli barangan keperluan berdasarkan SHMMP Hari Raya Puasa 2023 yang berkuatkuasa dari 15 hingga 30 April ini.\n\u201cSepanjang tempoh itu, sebanyak 30 jenis barangan berada di bawah skim\ntersebut. Pengguna dapat menikmati harga \u00a0berpatutan dan peniaga perlu mematuhi\nperaturan yang dikeluarkan bagi menjayakan skim tersebut,\u201d katanya.\nSehubungan itu, kementeriannya berharap agar semua pihak mematuhi harga yang\ntelah ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang berada di bawah kawalan harga.Menurut beliau lagi, \u201cTindakan tegas hanya diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan skim tersebut. Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.\u201d\nYang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Pengarah KPDN Negeri Kedah, Affendi Rajini Khan, Pengurus Econsave Wilayah Utara, Encik Zamzuri Mansor, Pengurus Econsave Baling, Encik Sarudin Shaari dan Penghulu Mukim Pulai, Encik Mohd Hazmir Md Isa.\nDalam program tersebut juga, Econsave Baling turut menyampaikan sumbangan baucar bernilai RM50 kepada 50 orang penduduk di daerah Baling yang terdiri daripada golongan asnaf, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) untuk membeli barangan keperluan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri." "Bahasa yang Dinamik Wajar Berkembang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur\u00a0\u2013 Sikap para pemimpin negara terhadap bahasa Melayu akhir-akhir ini seolah-olah memberikan nafas baharu dalam usaha untuk memartabatkan penggunaannya sebagai bahasa kebangsaan terutamanya di peringkat antarabangsa. Kenyataan dan tegasan Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob berkaitan dengan pemartabatan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara termasuklah dalam mesyuarat dan persidangan antarabangsa telah bermula sejak hujung tahun lepas dan sekali lagi disuarakan beliau ketika dalam lawatan rasmi ke Thailand baru-baru ini.\nDalam Rancangan Sembang Tamu: \u201cBahasa Melayu di Persada Dunia: Siri 2\u201d yang bersiaran menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP, pada pukul 9.00 malam tadi, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, yang bertindak selaku moderator melontarkan persoalan berkaitan dengan pandangan golongan muda terhadap tindakan Perdana Menteri itu. Menurut Mantan Presiden Majlis Belia Malaysia, Encik Julfitri Joha, golongan muda mempunyai pandangan yang pelbagai terhadap usaha pemartabatan bahasa kebangsaan.\nMenurut Encik Julfitri, ada sebahagian golongan muda yang menyambut baik usaha tersebut kerana bahasa Melayu layak untuk dinobatkan sebagai bahasa antarabangsa dan ada pula yang tidak kisah atau tidak cakna akan hal tersebut. Tambah beliau lagi, setiap ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu mempunyai kemahiran berbahasa kebangsaan kerana mereka merupakan contoh dan teladan kepada masyarakat untuk terus yakin menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Beliau turut mencadangkan agar audit bahasa kebangsaan yang dijalankan di kementerian dan jabatan kerajaan juga perlu dilaksanakan di Parlimen.\n\u00a0\nPengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam, Encik Aminuddin Yahaya pula menyatakan bahawa beliau menyambut baik Diplomasi Kebudayaan yang telah diumumkan oleh Menteri Luar Negeri, YB Dato\u2019 Sri Saifuddin Abdullah pada bulan November tahun lepas. Namun begitu, usaha tersebut perlu dilakukan secara berterusan dan para pemimpin termasuklah keluarga Malaysia perlu mengubah minda akan kepentingan pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan tidak sewenang-wenangnya merendahkannya. Peranan badan bukan kerajaan (NGO) dalam bidang bahasa juga sangat luas dan bertindak sebagai badan pemantau bagi setiap dasar yang dibuat oleh kerajaan.\nMenurut pensyarah bebas, penyair dan penterjemah, YBrs. Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman pula, potensi sastera Melayu di persada dunia sangat cemerlang, gemilang dan terbilang sebagaimana yang telah terakam dalam sejarah dunia. Contohnya, beliau yang mewakili Malaysia dalam Festival Internacional de Poesia Granada, Nicaragua pada 19 Februari 2022 telah mendeklamasi puisinya yang bertajuk \u201cMewangi Jasa Pena Pujangga Nicaragua\u201d dalam bahasa Melayu dan diterjemahkan pula ke dalam bahasa Sepanyol sebagai sari kata. Tambah beliau lagi, pengantarabangsaan bahasa penting untuk sesebuah bahasa kerana bahasa yang dinamik wajar berkembang." "80 000 Permohonan Diterima bagi Fasiliti Sokongan Akaun Dua\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Hampir 80 000 permohonan telah diterima bagi Fasiliti Sokongan Akaun Dua. Daripada jumlah tersebut, hampir 40 000 pemohon telah berjaya mendapat kelulusan. Dianggarkan jumlah pinjaman yang dilakukan bagi permohonan yang telah diluluskan adalah sebanyak RM800 juta.\n\nFasiliti Sokongan Akaun Dua (FSA2) merupakan inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan untuk membantu pencarum Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) mendapatkan wang melalui pembiayaan peribadi yang terdapat di institusi perbankan. Hal ini turut dijelaskan secara terperinci oleh Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azian dalam segmen bual bicara bertajuk \u201cFSA2 KWSP: Imbangi Keperluan Persaraan dan Kewangan Semasa\u201d dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang bersiaran pagi tadi.\n\u00a0\nBeliau menjelaskan bahawa FSA2 bukanlah suatu cagaran. Beliau turut menegaskan bahawa cagaran sama sekali tidak dibenarkan, sebaliknya FSA2 merupakan pengeluaran awal yang dibenarkan. FSA2 terdiri daripada beberapa fasa. Untuk fasa yang pertama dibuka kepada ahli KWSP yang berusia 40 hingga 55 tahun. Antara intitusi bank yang terlibat dalam FSA2 termasuklah Bank MBSB dan Bank Simpanan Nasional (BSN), dan beliau juga berharap dalam masa yang terdekat ini bank-bank lain yang ada dapat menawarkan FSA2.\n\u201cIni adalah pinjaman peribadi, seperti pinjaman lain perlu dibayar semula. Penggunaan akaun dua KWSP hanyalah untuk sokongan\u201d, tambah beliau lagi.\nDalam pada itu, beliau turut mengulas perihal akaun 1 KWSP tidak terlibat dalam FSA2. Menurut beliau, KWSP ialah dana untuk zaman persaraan. Terdapat dua akaun dalam KWSP, iaitu akaun satu yang memfokuskan untuk tabung persaraan. Akaun dua pula adalah untuk pengeluaran prapersaraan. Untuk simpanan masa depan, akaun 1 tidak boleh digunakan. Akaun dua kita boleh benarkan kalau mencapai syarat-syarat yang tertentu\u201d.\nPencarum boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak KWSP dengan mengakses laman sesawang KWSP atau boleh terus ke mana-mana cawangan KWSP." "Aliran Masuk Bersih Asing Menunjukkan Trend Positif\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 MIDF Research melaporkan bahawa Bursa Malaysia mencatatkan trend positif dengan kehadiran semula dana asing pada minggu lepas berikutan aliran masuk bersih asing meningkat kepada RM69.5 juta pada minggu dagangan berakhir 14 April berbanding RM18.8 juta pada minggu sebelumnya, sekali gus mencatat aliran masuk selama tiga minggu berturut-turut.\nWalaupun pelabur asing mempamerkan kecenderungan negatif pada minggu yang mencatat jualan bersih selama tiga daripada lima hari dagangan, kesannya telah diimbangi oleh pembelian bersih pada Khamis dan Jumaat. Firma itu menambah tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk bersih asing pada minggu lepas ialah teknologi (RM32.3 juta), perkhidmatan kewangan (RM26.8 juta) dan perladangan (RM24.2 juta), manakala tiga sektor dengan aliran keluar bersih asing ialah utiliti (RM42.5 juta), penjagaan kesihatan (RM38.3 juta) dan REIT (RM8.5 juta). Setakat tahun ini, pelabur asing telah melepaskan pegangan ekuiti Malaysia untuk tempoh sembilan daripada 15 minggu iaitu bernilai RM1.83 bilion.\nSementara itu, pelabur institusi kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu berkenaan, namun, mencatat jualan bersih, masing-masing sebanyak RM48.7 juta dan RM22.3 juta pada Khamis dan Jumaat. Firma itu turut melaporkan bahawa pelabur institusi telah menjadi pembeli bersih selama 11 daripada 15 minggu dengan jumlah kumulatif RM1.82 bilion. Peruncit tempatan meneruskan trend jualan bersih bagi minggu ketiga berturut-turut, berjumlah sehingga RM73.1 juta.\nWalaupun peruncit tempatan merupakan pembeli bersih dengan nilai RM6.8 juta pada Rabu dan RM5.6 juta pada Khamis, mereka merupakan penjual bersih pada sepanjang minggu itu. Pada tahun ini, peruncit tempatan merupakan penjual bersih untuk tempoh lapan daripada 15 minggu dengan jumlah kumulatif RM50.2 juta. Selain itu, nilai purata dagangan harian (ADTV) dalam kalangan peruncit tempatan meningkat (+11.1%), institusi tempatan (+15.5%) dan pelabur asing (+20.5%) daripada aspek penyertaan." "Malaysia Mencatatkan Lebihan Dagangan pada Mac 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Malaysia merekodkan lebihan dagangan pada Mac 2023 meningkat kepada RM26.69 bilion berbanding Mac 2022 yang menandakan lebihan dagangan yang ke-35 bulan berturut-turutsejak Mei 2020 dan nilai tertinggi yang direkodkan bagi bulan Mac. Perdagangan pada bulan ini bagaimanapun berkurang sebanyak 1.6% kepada RM232.72 bilion, manakala eksport berjumlah RM129.71 bilion, menyusut 1.4% dan import menurun 1.8% kepada RM103.01 bilion.\nKementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melaporkan bahawa perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing merekodkan pertumbuhan dua digit sebanyak 13.5%, 15.5%, 11.1% dan 36.4% berbanding Februari 2023. Perdagangan bagi suku pertama (S1) 2023 berkembang 3.2% kepada RM644.87 bilion berbanding S1 2022, manakala eksport meningkat 2.8% kepada RM354.63 bilion dan import naik 3.7% kepada RM290.24 bilion. MITI turut menambah perdagangan, eksport dan import mencatatkan nilai yang tertinggi bagi tempoh itu. Bagaimanapun, bagi \u00a0tempoh yang sama lebihan dagangan menurun 1% kepada RM64.39 bilion.\nEksport barangan perlombongan yang berjumlah 8% daripada jumlah perdagangan atau RM10.4 bilion, menurun 3.5% tahun ke tahun berikutan pengurangan eksport petroleum kondensat dan minyak petroleum lain, manakala eksport keluaran pertanian yang berjumlah 7.3% daripada jumlah perdagangan atau RM9.43 bilion, jatuh 10.8% berikutan penurunan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Peningkatan eksport pula dicatatkan untuk gas asli cecair (LNG).\nMITI melaporkan pada Mac 2023, perdagangan dengan Asean mewakili 27.9% atau RM64.84 bilion daripada jumlah perdagangan Malaysia, menyusut 1.4% tahun ke tahun. Bagaimanapun, peningkatan eksport telah direkodkan bagi keluaran petroleum, jentera, kelengkapan dan peralatan serta kelengkapan pengangkutan. Sebaliknya, import dari Asean berkembang sebanyak 1.6% kepada RM26.86 bilion. Eksport ke pasaran utama Asean yang mencatatkan peningkatan ialah Singapura, yang meningkat RM615.3 juta dan Indonesia, berkembang sebanyak RM738.9 juta disebabkan oleh eksport produk petroleum yang memberangsangkan. Pertambahan eksport walau bagaimanapun, telah direkodkan bagi bijih logam dan serpihan logam, kimia dan bahan kimia serta LNG. Import dari China menyusut 0.3% kepada RM21.16 bilion.\nPerdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) pada Mac 2023 yang merangkumi 9.5% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 5.2% tahun ke tahun kepada RM22.05 bilion. Eksport berkembang 7.5% kepada RM14.59 bilion dan import dari AS naik 1% kepada RM7.46 bilion. Perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) yang merangkumi 8.3% daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 6.1% tahun ke tahun kepada RM19.41 bilion.\nSementara itu, perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang menyumbang 67.5% atau RM157.18 bilion kepada jumlah perdagangan Malaysia menurun secara marginal sebanyak 0.9% tahun ke tahun. Eksport ke rakan dagang FTA jatuh 1.5% kepada RM89.48 bilion dan import menguncupsebanyak 0.1 peratus kepada RM67.7 bilion. Bagi import, barangan pengantara, bernilai RM53.81 bilion atau 52.2% daripada jumlah import, menurun 8.7% pada Mac 2023; barangan modal, bernilai RM9.77 bilion (9.5%), meningkat 3.5%; dan barangan penggunaan, bernilai RM9.26 bilion (9%), naik 6.2%." "Industri dan Pasaran Lemang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJika dahulu lemang hanya menjadi juadah pada musim perayaan, hari ini lemang boleh dibeli setiap hari. Hal itu demikian kerana ada kedai atau gerai yang menjual lemang tanpa mengira musim. Justeru, ada pengusaha yang telah menjadikan lemang sebagai sumber rezeki atau mata pencarian utama mereka. Pendapatan yang diperolehi juga agak lumayan khususnya pada musim perayaan memandangkan lemang yang dijual pada hari ini telah divariasikan mengikut saiz, jenis, pilihan kandungan dan pakej.\nSebagai contoh, lemang yang dijual mengikut saiz iaitu dari saiz S hingga saiz XXL telah ditetapkan harganya antara Rm 16 hingga RM 24 sebatang seperti yang ditetapkan di kawasan Lembah Kelang. Walau bagaimanapun lemang yang dijual ini mengikut saiz yang berbeza-beza ini adalah berasaskan kepada beras pulut. Contoh pengusaha yang menjual lemang ini di kawasan Lembah Kelang ialah Lemang 12 yang beroperasi di PJCC, Petaling Jaya yang boleh dipesan secara atas talian menerusi laman web Lalamove.\nLemang yang diusahakan oleh Achey Raja Lawak yang dikenali dengan nama Lemang Ustaz pula dijual mengikut pilihan kandungan dan pakej. Dua pilihan lemang yang ditawarkan ialah lemang asli yang menggunakan beras pulut yang dijual dengan harga RM 15 manakala lemang yang berintikan jagung dijual dengan harga RM 18 sebatang. Lemang ini boleh dipadankan dengan rendang ayam yang boleh dibeli dengan harga mengikut berat iaitu 500 g dengan harga RM 18 dan 1 kg dengan harga RM 34 manakala rendang daging boleh dibeli dengan harga mengikut berat 500 g dengan harga RM 20 dan 1 kg dengan harga RM 38. Lemang Ustaz ini boleh dibeli secara fizikal di Kampung Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh atau boleh dibeli secara atas talian menerusi pautan yang disediakan oleh Lalamove.\nLemang Tok Abah yang beroperasi di Wangsa Melawati sejak dari tahun 2013 menawarkan tiga pilihan kandungan iaitu asli, jagung dan pulut hitam. Lemang asli dijual dengan harga RM 15 sebatang manakala jagung dan pulut hitam dijual dengan harga RM 23 sebatang. Juadah ini boleh dibeli dengan rendang atau serunding daging atau ayam yang dijual dengan harga RM 16 untuk 200 g bagi rendang dan RM 15 untuk 100 g bagi serunding.\nLemang Sahabat yang beroperasi di Bukit Kapar menawarkan lemang yang dibalut dengan daun lerek yang dikatakan dapat menghasilkan aroma yang wangi selain rasa yang enak kerana kelembutan yang terhasil dari santan asli yang terjerap dalam daun lerek. Dengan menggunakan daun lerek, lemang ini juga mampu disimpan dalam tempoh yang lebih lama berbanding lemang yang dibalut dengan menggunakan daun pisang. Terdapat tiga pilihan kandungan yang ditawarkan ialah asli, jagung dan pulut hitam yang dijual dari harga serendah RM 16 sebatang.\nPengusaha berikutnya yang turut menjadikan daun lerek sebagai pelapik lemang ialah Lemang Daun Lerek yang beroperasi di Taman Greenwood Gombak. Perusahaan lemang ini mungkin boleh dianggap sebagai antara yang paling lama bertahan kerana sudah memulakan operasi sejak dari tahun 1992 menurut laporan Luqman Hakim pada 22 April 2023 yang tersiar dalam New Straits Times. Faktor utama yang menyebabkan masih bertahan ialah penggunaan daun lerek yang menghasilkan aroma tersendiri di samping penggunaan santan segar sehingga turut menggamit kedatangan pelancong asing untuk merasai sendiri keenakannya.\nLemang Power yang telah beroperasi sejak dari tahun 2008 di Bandar Tun Razak, Cheras bukan sahaja terkenal dengan harganya yang murah tetapi juga kerana rendangnya yang unik. Selain lemang, Lemang Power turut menjual rendang daging atau ayam yang dikenali dengan nama rendang hijau kerana menggunakan cili hijau sebagai ramuan utamanya. Sebatang lemang dijual dengan harga serendah RM 13. Lemang Panjang yang terletak di Kampung Sungai Ramal, Kajang menawarkan variasi rendang yang boleh dipadankan dengan lemang yang dijual mengikut saiz dan pilihan kandungan. Pilihan lemang yang dijual ialah asli, jagung dan pulut hitam yang boleh dibeli mengikut saiz iaitu dari yang paling kecil hingga yang paling besar. Variasi rendang yang dijual ialah ayam, daging, itik dan kerang. Uniknya lemang yang ditawarkan di sini ialah wadah atau bekasnya yang bukan sahaja menggunakan buluh tetapi juga periuk kera. Lemang ini boleh dibeli secara atas talian menerusi laman web lemangpanjang.beepit.com.\nSecara kasarnya, pengusaha lemang boleh memperolehi pendapatan yang mencecah puluhan ribu ringgit malahan ratusan ribu ringgit hanya pada musim perayaan sahaja. Sebagai contoh Lemang Power yang menurut artikel Lalamove yang tersiar pada 29 Mac 2023 di laman web rasmi mereka pernah menjual 20 000 batang lemang pada musim Aidilfitri jika dicongak secara kasar memperolehi pulangan sebanyak antara RM 260 000 (saiz S dijual RM 13) hingga RM 400 000 (saiz XXL dijual RM 20). Manakala menurut tulisan Nizam Zain pada 24 April 2023 yang tersiar di laman Malaysia Gazette, Pak Dean Lemang Tradisi yang beroperasi di sekitar Lebuhraya Lingkaran Tengah II, Hulu Kelang yang berhampiran dengan Zoo Negara menyediakan 100 000 batang buluh untuk memenuhi permintaan dan tempahan sepanjang musim Aidilfitri. Harga yang dijual pula adalah antara RM 16 hingga RM 20. Maka secara kasar, pengusaha tersebut mampu menjana pendapatan sekitar RM 1.6 juta hingga RM 2 juta.\nSelain pengusaha lemang, pembekal buluh turut menerima tempias durian runtuh. Sebagaimana yang dilaporkan oleh Nazdy Harun dalam Berita Harian pada 9 April 2023, sebatang buluh dijual dengan RM 2. Itu belum termasuk pelapiknya seperti daun lerek yang dijual dengan harga RM 1 sehelai. Untuk sambutan Aidilfitri tahun ini misalnya, seorang pembekal buluh dari Terengganu telah memperuntukkan sebanyak 20 000 batang buluh untuk dijual kepada pengusaha lemang. Secara kasar, jualan itu boleh memperolehi pendapatan sebanyak RM 40 000 dalam musim perayaan sahaja.\nTerdapat juga pengusaha lemang yang memanfaatkan keuntungan yang diperolehi hasil dari jualan lemang untuk disalurkan ke jalan kebajikan. Pertubuhan Belia Gugusan Salak (BAGUS) sebagaimana yang dilaporkan dalam Bebas News pada 21 April 2023 telah menyasarkan jualan sebanyak 28 000 batang lemang sepanjang perayaan Aidilfitri tahun ini. Sebatang lemang pula dijual antara harga RM 16 hingga RM 20. Perusahaan yang telah dimulakan sejak dari tahun 2011 itu setakat ini berhasil menyalurkan sumbangan berupa van jenazah, kit pengurusan jenazah dan bantuan persekolahan pada tahun-tahun sebelumnya manakala pada musim perayaan kali ini, pertubuhan tersebut berhasrat untuk menyalurkan sumbangan berbentuk tempat perbaringan selepas jenazah dimandikan.\nWalau bagaimanapun, tidak semua buluh sesuai untuk dijadikan bekas lemang. Justeru, baik pembekal mahupun pengusaha perlu tahu jenis buluh yang boleh digunakan untuk membuat lemang agar produktiviti dapat ditingkatkan dan kos menjadi lebih efektif. Buluh yang terlalu tebal mungkin bagus untuk ketahanan api tetapi menjadi sangat lama untuk dimasak. Salah satu jenis buluh yang dikenal pasti bagus untuk dijadikan bekas lemang ialah buluh tali. Buluh jenis ini bukan sahaja mempunyai ruas yang tebal tetapi juga mempunyai tempoh masak yang lebih singkat iaitu sekitar 4 hingga 6 jam sahaja sebagaimana yang dijelaskan oleh pembekal buluh lemang di Pontian, Johor dalam Buletin TV3 yang tersiar secara atas talian pada 16 April 2023. Buluh lain yang boleh digunakan untuk pembuatan lemang sebagaimana yang disenaraikan oleh M Anem pada 28 April 2021 yang boleh diakses di laman web Anim Agro Technology ialah buluh nipis, buluh padi, buluh urat dan buluh rusa atau buluh pelang. Buluh tersebut mempunyai ciri-ciri seperti batang yang nipis, lurus dan mempunyai ruas yang panjang yang bukan sahaja boleh digunakan untuk tujuan perusahaan lemang tetapi juga untuk hasil kerja kraftangan.\nMenyedari lemang mempunyai prospek yang cerah, terdapat pengusaha yang mengambil inisiatif menanam buluh kategori lemang ini di tanah sendiri. Hasilnya beliau bukan sahaja boleh menggunakan buluh tersebut untuk pembuatan lemang malah boleh membekalkan pula buluh tersebut kepada pengusaha lain. Buluh tersebut dijual dengan harga sekitar RM 1.40 seruas sebagaimana menurut artikel Roselan Ab Malek yang tersiar dalam Berita Harian pada 29 April 2022. Secara kasar, sebatang buluh biasanya mempunyai beberapa ruas dan jika tempahan yang diterima adalah sekitar 40 000 batang, maka seseorang pengusaha buluh itu mungkin boleh menerima imbuhan sekitar RM 168 000 (anggap jika sebatang buluh mempunyai minimum 3 ruas yang boleh digunakan). Itu belum lagi dikira dengan buluh yang telah dimasukkan pelapik seperti daun pisang yang mempunyai harga yang berbeza.\nTernyata perusahaan lemang dan buluh boleh berkembang jauh kerana makanan tradisional ini mempunyai kedudukannya yang tersendiri khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu bahkan kini turut digemari oleh bangsa lain. Pada musim perayaan, juadah tidak akan lengkap atau suasana tampak tidak berseri sekiranya tidak dihiasi dengan lemang yang menjadi pembuka selera di sisi rendang atau serunding." "Malaysia Melonjak 15 Anak Tangga dalam Indeks Prestasi Logistik Bank Dunia 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Malaysia melonjak 15 anak tangga dalam Indeks Prestasi Logistik (LPI) Bank Dunia 2023 untuk berada di kedudukan ke-26, menjadi negara kedua terbaik selepas Singapura dalam kalangan negara ASEAN.\nKetua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman menyatakan bahawa pencapaian itu merupakan lonjakan ketara dari kedudukan ke-41 pada tahun 2018 dan ke-32 pada tahun 2016, dan kedudukan terbaik yang dicapai Malaysia ialah di tangga ke-25 dalam laporan LPI Bank Dunia 2014. Beliau turut menambah bahawa laporan LPI merupakan penanda aras untuk membantu negara mengenal pasti apa yang boleh dilakukan untuk penambahbaikan dalam logistik perdagangan antarabangsa bagi meningkatkan daya saing.\nLaporan LPI edisi ketujuh Connecting to Compete dikeluarkan selepas tiga tahun gangguan rantaian bekalan semasa pandemik COVID-19 dan merangkumi pandangan terkini mengenai prestasi logistik perdagangan di 139 negara." "IHP Turun 2.9% Pada Mac 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) melaporkan bahawa Indeks Harga Pengeluar (IHP) bagi pengeluaran tempatan, yang mengukur harga barangan di pintu kilang, merosot lagi kepada \u2013 2.9% pada Mac 2023 berbanding -0.8% yang direkodkan pada Februari 2023.\nKetua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawatrend penurunan itu disebabkan oleh penyusutan dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan serta perlombongan yang terus mencatatkan perubahan negatif selama tiga bulan berturut-turut pada tahun 2023. Indeks tandan buah segar terus mencatatkan \u2013 43.5% pada Mac 2023 daripada \u2013 40.5% yang disaksikan semasa bulan sebelumnya, yang menyumbang kepada penurunan dua digit \u2013 28.7% dalam indeks pertanian, perhutanan dan perikanan berbanding Februari 2023 (-26.1%). Indeks perlombongan berkurangan kepada -11.5% (Februari 2023: -6.5%) dengan pengekstrakan indeks petroleum mentah merosot sebanyak \u2013 21.2% menjelang Mac 2023.\nSementara itu, indeks pembuatan meningkat sebanyak 1.4% pada Mac 2023 (Februari 2023: 3.0%), disumbangkan oleh kenaikan dalam pembuatan produk komputer, elektronik dan optikal (8.9%) serta indeks pembuatan peralatan elektrik (5.3%). Manakala bagi sektor utiliti, indeks bekalan air, elektrik dan gas masing-masing menokok 3.3% dan 1.4%. IHP pengeluaran tempatan bertambah 0.3% pada Mac 2023 berbanding penurunan 0.2% pada bulan sebelumnya. Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan naik 4.8% seiring dengan pertumbuhan indeks tanaman saka yang melonjak 6.5%. Sektor bekalan elektrik dan gas turut mencatatkan kenaikan sebanyak 0.5% pada Mac. Sebaliknya, sektor perlombongan menyusut sejumlah 0.6%, terjejas oleh penurunan dalam pengekstrakan gas asli (-1.0%) serta pengekstrakan indeks petroleum mentah (-0.5%). Bagi indeks pembuatan, indeks itu mencatatkan kejatuhan sebanyak 0.1% disebabkan oleh penurunan dalam pembuatan produk petroleum kok dan bertapis (1.6%), pembuatan kimia serta produk kimia (-0.2%) dan pembuatan produk makanan (-0.1%). Sama seperti bulan sebelumnya, indeks bekalan air berkurangan sebanyak 0.3%.\nBeliau mengulas bahawa indeks bahan mentah bagi pemprosesan selanjutnya susut lagi kepada -21.0% pada Mac 2023 (Februari 2023: -16.9%) disebabkan oleh penurunan -25.2% dalam bahan bukan makanan. Walau bagaimanapun, bahan perantaraan, bekalan dan komponen meningkat 1.5% pada Mac 2023 (Februari 2023: 3.3%) berikutan pertambahan bekalan (10.6%), bahan api diproses dan pelincir (6.0%) serta indeks bahan dan komponen bagi pembinaan (3.8%). Barangan siap meningkat sebanyak 3.9% (Februari 2023: 4.0%) dengan indeks peralatan modal dan barangan pengguna siap masing-masing menokok 5.0% dan 2.6%.\nDaripada segi perbandingan bulanan, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen kekal tidak berubah pada Mac 2023, manakala indeks bahan mentah bagi pemprosesan selanjutnya serta barangan siap masing-masing mencatatkan kenaikan 1.5% dan 0.2%. Menjelang suku pertama 2023, IHP pengeluaran tempatan mencatatkan kelemahan sebanyak 0.8% berbanding 3.5% pada suku keempat 2022.\nPenurunan itu disebabkan oleh indeks pertanian, perhutanan dan perikanan (-25.4%) serta perlombongan (-6.8%). Sebaliknya, kenaikan dicatatkan bagi indeks pembuatan (2.9%), bekalan elektrik dan gas (1.2%) serta bekalan air (3.6%), manakala, perbandingan dari suku ke suku menunjukkan IHP pengeluaran tempatan merosot 0.8% (suku keempat 2022: -0.7%).\nMengulas mengenai inflasi di peringkat pengeluar negara-negara tertentu, beliau menambah bahawa \u00c2\u00a0kebanyakan negara mencatatkan indeks yang sederhana pada bulan ini disebabkan oleh kelembapan harga komoditi dan makanan. Pasaran komoditi global menghadapi ketidaktentuan harga pada tahun-tahun akan datang yang bukan sahaja disebabkan oleh kebimbangan geopolitik yang berlarutan tetapi juga sebahagian besarnya tertumpu kepada China dan perubahan iklim. Economist Intelligent Unit (EIU) mengunjurkan harga minyak akan kekal tinggi pada tahun 2023.\nBagaimanapun, beliau menambah beberapa minggu kebelakangan ini telah mencetuskan penyusutan mendadak harga minyak disebabkan kejatuhan Silicon Valley Bank dan Signature Bank di Amerika Syarikat selain daripada isu kecairan yang dihadapi oleh Credit Suisse." "Krisis dalam Pelaburan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nApabila bercakap tentang pelaburan, ramai orang mungkin memikirkan cara yang berbeza untuk membahagikan wang mereka. Sebagai contoh, sesetengah orang mungkin memikirkan berapa banyak wang yang mereka perlu simpan dahulu, sebelum mereka mula memikirkan tentang pelaburan. Orang lain mungkin berfikir tentang jenis pelaburan yang mereka mahu buat, dan sama ada mereka fikir pelaburan itu akan menguntungkan dalam jangka masa panjang. Sesiapa sahaja boleh membuat wang dengan pelaburan yang dapat meraih keuntungan yang akan meningkat nilainya mengikut tempoh masa. Pelaburan boleh didefinisikan apabila seseorang itu membeli sesuatu dengan harapan mendapat keuntungan pada masa hadapan. Terdapat pelbagai cara untuk melabur, termasuk membeli barangan seperti hartanah, emas, saham, unit amanah, bon dan juga ekuiti.\nSemua jenis pelaburan akan melibatkan risiko, dan terdapat tiga jenis risiko pelaburan iaitu yang berisiko rendah, sederhana dan tinggi. Pelaburan berisiko rendah seperti deposit tetap di bank, manakala pelaburan berisiko sederhana seperti Amanah Saham Nasional, yang merupakan unit Amanah dengan harga berubah. Contoh pelaburan berisiko tinggi pula ialah seperti pelaburan Peer-to-Peer (P2P) lending, dan pelaburan saham seperti saham seperti di pasaran Bursa Malaysia. Pasaran saham berisiko tinggi kerana bergantung kepada keadaan ekonomi dan keadaan pasaran yang sering berubah.\nKrisis Ekonomi dan Kewangan di Malaysia\nKrisis ekonomi dan kewangan itu terjadi apabila nilai aset menjunam jatuh secara mendadak (seperti perniagaan dan rumah) turun, orang ramai tidak dapat membayar hutang mereka, dan bank menghadapi masalah menjual aset mereka dengan cepat. Ketika krisis ekonomi berlaku, banyak orang menjual aset mereka (seperti saham atau rumah) untuk menyimpan wang tunai sebanyak yang boleh. Krisis itu pernah berlaku di Malaysia sebanyak lima kali.\nKrisis pertama yang menimpa Malaysia pada tahun 1973/1974 disebabkan ini berlaku disebabkan kenaikan harga minyak akibat peperangan antara Mesir dan Israel. Akibatnya, pertumbuhan ekonomi Malaysia hanya meningkat sebanyak 0.8% pada tahun 1975 yang merupakan paras terendah dalam tempoh 1970-1980. Krisis itu tidak hanya berhenti di situ, Malaysia kembali dilanda krisis minyak (Kejutan Minyak Kedua) pada tahun 1978 akibat daripada Revolusi Iran. Krisis kedua yang berlaku di Malaysia ialah Krisis Kewangan Asia pada tahun 1997 dan 1998. Krisis itu merupakan antara krisis ekonomi yang paling tidak boleh dilupakan kerana Malaysia antara negara yang berjaya mengatasi dan menangani krisis hebat ini. Krisis kewangan Asia bermula apabila berlaku beberapa spekulasi tentang nilai mata wang Rupiah dan Baht. Hal itu menyebabkan Thailand menjadi terlalu optimis yang membuatkan mereka menaikkan pemberian kredit mereka secara drastik, dan seterusnya menambahkan lagi hutang luar negara.\nKekurangan sumber mata wang asing telah memaksa kerajaan Thailand untuk menukar kadar pertukaran tetap mata wang kepada Dolar Amerika Syarikat yang telah lama dikekalkan. Keadaan itu telah berjangkit kepada negara-negara Asia lain kerana melibatkan perubahan yang sistematik. Malaysia juga tidak terkecuali dalam hal ini. Kadar tukaran ringgit jatuh daripada purata RM2.50 satu dolar Amerika, kepada RM4.20 sedolar pada ketika itu. Apabila nilai ringgit jatuh akan memberi kesan kepada harga, seperti hutang luar negara, harga saham, kadar faedah, kos pinjaman naik dan kos import. Krisis ketiga yang berlaku di Malaysia ialah Krisis Ekonomi Global 2008 yang dikenali juga sebagai Krisis Subprima. Krisis ini bermula apabila institusi kewangan membuat aktiviti atau inovasi dalam pemberian kredit kepada negara maju di Eropah. Inovasi kewangan yang dilaksanakan berikutan kenaikan harga hartanah yang meningkat secara ketara semenjak tahun 1997 sehingga tahun 2006. Inovasi yang dimaksudkan adalah apabila terdapat kaedah pinjaman kewangan yang lebih senang dengan kos yang lebih rendah serta memudahkan proses pinjaman termasuk mereka yang tidak layak untuk mendapat pinjaman (peminjam subprime). Kerajaan terpaksa campur tangan dan menyediakan bailout untuk mengelakkan keseluruhan sistem perbankan daripada runtuh. Hal itu menyebabkan KDNK menurun, peningkatan dalam pengangguran, dan penurunan dalam keyakinan pelabur. Beberapa bank terbesar yang terlibat dalam Krisis Subprima ialah Lehman Brothers dan Merrill Lynch. Lehman Brothers telah muflis pada September 2008, dan menyebabkan kesan domino yang menyebabkan bank lain turut muflis.\nSeterusnya adalah Krisis Kewangan Euro. Pada ketika ekonomi global berada pada fasa pemulihan susulan daripada Krisis Subprima, terdapat beberapa negara Eropah seperti Greece, Ireland dan Portugal telah menghadapi masalah untuk membayar balik hutang mereka. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah meminjamkan wang kepada negara tersebut supaya mereka boleh terus bertahan, tetapi jika mereka tidak dapat membayar pinjaman tersebut, keadaan itu boleh menyebabkan negara itu muflis. Greece adalah salah satu daripada negara yang mempunyai tahap hutang awam tertinggi di dalam Zon Eropah dan mempunyai defisit belanjawan tebesar. Krisis hutang boleh merebak ke bahagian lain di dunia, dan seterusnya menjejaskan ekonomi negara kita. Kemungkinan krisis hutang ini akan menjadi bertambah buruk dan mungkin boleh mengakibatkan kesan limpahan yang ketara terhadap aktiviti ekonomi dan pasaran kewangan. Kesan limpahan krisis hutang Euro kepada ekonomi Malaysia berlaku melalui dua cara utama iaitu melalui perdagangan dan kewangan.\nKrisis terakhir yang berlaku adalah krisis minyak. Kejatuhan harga minyak telah bermula sejak daripada pertengahan tahun 2014 lagi. Hal ini bertambah lagi teruk pada tahun 2015 iaitu dalam tempoh 18 bulan sahaja, harga minyak mentah telah menjunam lebih daripada 50%. Situasi itu terjadi kerana tangki minyak (OPEC) terlalu banyak dan tidak cukup orang yang membelinya. Syarikat minyak bimbang dengan situasi itu kerana mereka tidak boleh membuat banyak wang seperti dahulu. Tetapi yang lebih membimbangkan mereka adalah apabila terdapat negara lain yang mengeluarkan lebih banyak minyak, jadi harga minyak mungkin akan kekal rendah untuk seketika.\nKesan Krisis Kewangan dan Ekonomi kepada Malaysia\nKrisis kewangan yang berlaku pada tahun 1998 telah menjejaskan ekonomi negara. Keadaan itu menyebabkan pengangguran dan kejatuhan nilai ringgit, yang menyebabkan barangan import menjadi lebih mahal. Kadar inflasi juga meningkat. Kerajaan Malaysia terpaksa mengurangkan perbelanjaan untuk perkara seperti pembasmian kemiskinan bagi menangani krisis tersebut. Pada tahun 2008, ekonomi global telah memberi kesan kepada ekonomi Malaysia dan menyebabkan penurunan dalam pelaburan asing dan penurunan dalam eksport. Hal itu turut memberi kesan negatif kepada bursa saham Malaysia dan nilai mata wang Malaysia. Krisis kewangan menjejaskan ekonomi Malaysia pada tahun 2016 yang menyebabkan kerajaan terdesak untuk melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).\n\u00a0Kemelesetan Ekonomi\nKemelesetan ekonomi mungkin berlaku akibat pandemik COVID-19. Kemelesetan ekonomi boleh didefinisikan sebagai penurunan dalam tahap aktiviti ekonomi. Kemeseletan itu boleh berlaku apabila terdapat penurunan yang ketara dalam perbelanjaan, krisis kewangan atau pertumbuhan ekonomi negatif. Kadar pengangguran, kiraan KDNK dan penunjuk lain semuanya boleh menunjukkan bahawa terdapat kemelesetan yang sedang berlaku.\nSejak Malaysia mengalami kemelesetan pada 1990-an, sudah lebih 20 tahun sejak kegawatan ekonomi berlaku. Semasa krisis kewangan Asia, KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) menyusut daripada USD100.8 bilion pada tahun 1996 kepada USD72.2 bilion pada tahun 1998. Pada waktu itu, nilai mata Malaysia berubah dengan drastik. Ekonomi Malaysia hanya terlihat pulih pada tahun 2023. Ketika berlakunya pandemik COVID-19, inflasi yang meningkat menyebabkan berlakunya kenaikan harga makanan secara mendadak. Hal itu menyebabkan ramai orang bergelut untuk mendapatkan bekalan makanan yang mencukupi. Oleh itu, kita perlu mempunyai perancangan dan persediaan yang ampuh bagi menghadapi keadaan yang tidak menentu." "Festival Mangga Harum Manis Perlis Dilancarkan Hari Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Festival Mangga Harum Manis Perlis disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah di pekarangan Dewan 2020, Kangar, hari ini.\nKeberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah Pertanian Negeri Perlis, Encik Hafizuddin Othman dan Timbalan Pengarah Pengurusan dan Regulatori Jabatan Pertanian Negeri Perlis, Puan Bazilah Jalil.\nFestival Mangga Harum Manis Perlis yang merupakan acara tahunan di bawah anjuran Jabatan Pertanian Negeri Perlis dengan kerjasama Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis ini diadakan bersempena dengan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Perlis dan dihadiri oleh ribuan rakyat Perlis.\nMangga harum manis ini bukan sahaja untuk dimakan, malah diproses menjadi Jus Harum Manis Al-Kamsah daripada syarikat Athanliz Innovation Sdn. Bhd. dan sebagai produk makanan dan minuman dengan jenama Mafera serta produk kosmetik berjenama Lindifera.\nSusulan itu, dengan adanya pelbagai keistimewaan dan kualiti yang tersendiri, mangga harum manis Perlis berjaya mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia dan pasaran luar.\nPada kemuncak majlis berkenaan, DYMM Pemangku Raja Perlis berkenan meletakkan tanda simbolik pelancaran Festival Mangga Harum Manis Perlis dan melancarkan produk inovasi berasaskan mangga harum manis.\nPada masa yang sama, majlis pelancaran ini juga menandakan bermulanya jualan buah mangga harum manis Perlis di negeri ini hingga Jun 2023." "Daftar Sistem GeoTanaman Elak Lambakan Hasil Pertanian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Pihak yang terlibat dalam industri agromakanan seperti petani, pemborong dan pembekal input pertanian diseru agar mendaftar secara percuma di sistem GeoTanaman yang dibangunkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) bagi mengelakkan lambakan hasil pertanian.\nKetua Pengarah Pertanian, Dato\u2019 Zahimi Hassan berkata, para petani dapat merancang penjadualan tanaman makanan mengikut pemintaan dan penawaran melalui sistem ini seterusnya membantu mengurangkan di samping mengelakkan lambakan hasil pertanian masing-masing.\n\u201cSistem GeoTanaman juga dapat membantu pengusaha mengurangkan lambakan hasil dengan meluaskan ruang pasaran berdasarkan padanan pasaran secara e-dagang melalui transaksi secara terus dengan pemborong,\u201d jelas beliau dalam kenyataan yang dkeluarkan semalam.\nTambahnya, DOA juga dapat memberikan khidmat pengembangan pertanian kepada para petani yang mendaftar melalui sistem ini dengan mengenal pasti secara spesifik lokasi kebun dan menghantar notifikasi berkaitan perkhidmatan yang diperlukan melalui telefon mudah alih yang didaftarkan.\n\u201cPendaftaran di Sistem GeoTanaman (https://geotanaman.doa.gov.my) ini adalah bagi memastikan ketersediaan input pertanian dan maklumat pengeluaran tanaman makanan dapat disediakan secara masa nyata yang seterusnya mampu mengatasi isu lambakan hasil tanaman\u201d, jelas beliau.\nSistem ini telah dibangunkan sejak tahun 2022 dan petani dapat merancang penjadualan tanaman makanan mengikut permintaan serta penawaran. Para petani juga disarankan untuk melaksanakan Amalan Pertanian Baik dengan memohon pensijilan myGAP dan merancang penjadualan penanaman mengikut kehendak pasaran bagi memastikan hasil tanaman yang berkualiti dan memenuhi kehendak pasaran dapat dihasilkan.\nKenyataan ini dikeluarkan berikutan laporan media yang menyebut lebih 500 pekebun di Tanah Tinggi Lojing terpaksa membuang ribuan tan sayur yang tidak terjual selepas mendakwa terdapat lambakan bekalan sayur import dari luar negara walaupun pengeluaran sayur tempatan kini meningkat selepas berakhir musim tengkujuh." "Konsep Eko-Politinomik Islam: Satu Pandangan Awal\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTerma eko-politinomik merupakan satu terma yang terdiri daripada bidang ekologi dan bidang ekonomi politik atau diistilahkan sebagai politinomik secara bersepadu. Istilah ekonomi politik dan politinomik merupakan dua istilah yang membawa maksud yang sama. Istilah eko-politinomik merupakan ilmu berkaitan dengan politik, ekonomi, faktor sosial yang berkaitan dengan isu dan perubahan alam sekitar.\nBidang eko-politinomik ialah bidang yang kerap kali dipetik dan dibincangkan secara meluas oleh ahli akademik dalam bidang pembangunan. Bidang eko-politinomik menunjukkan satu usaha untuk memahami kaedah interaksi antara manusia dengan alam sekitar berlaku. Dengan kata lain, pembangunan yang tidak menyeimbangkan antara penjagaan ekosistem dengan ekonomi boleh menyebabkan berlakunya kemusnahan ekologi dalam sesebuah negara.\nBanyak habitat dan ekosistem terpaksa dikorbankan jika usaha pembangunan negara hanya memberikan tumpuan terhadap ekonomi semata-mata. Hal ini terjadi kerana polisi atau sesuatu dasar pembangunan berkenaan ekonomi atau ekologi biasanya diputuskan oleh ahli politik yang dipilih sama ada melalui jalan politik demokrasi atau pun melalui jalan politik monarki. Oleh sebab itulah, pentingnya untuk melihat hubungan ilmu ekologi Islam dan ilmu politinomik Islam bagi membina satu konsep eko-politinomik Islam sebagai satu bidang baru agar dapat membimbing para ahli politik tentang peranan mereka ke arah pembangunan yang seimbang antara ekonomi dengan ekologi.\nKonsep Eko-Politinomik Islam\nKonsep eko-politinomik Islam dibina hasil daripada gabungan ilmu ekologi Islam dan ilmu politinomik Islam. Perkataan ekologi ataupun alam sekitar diguna pakai dalam beberapa takrifan. Antaranya menurut Mohd Zuhdi Marsuki dan Amer Saifude Ghazali, dalam bahasa Arab akar perkataan ekologi ialah \u0639\u064e\u0627\u0644\u064e\u0645 yang terdiri daripada huruf akar\u00a0 \u0639 , \u0644 , \u0645\u200f yang membawa maksud alam sekitar. Alam sekitar di sini bermaksud ciptaan dan pemberian yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada manusia untuk dipelihara daripada kerosakan dan pencemaran. Hal ini kerana, alam sekitar telah diwarisi sejak berabad dahulu untuk dimanfaatkan oleh tamadun manusia dari generasi ke generasi, termasuklah masyarakat yang ada di Malaysia yang mesra dengan sistem ekologi ini.\nAlam sekitar dilihat mempunyai kepentingannya yang tersendiri dalam kehidupan kerana dapat memberikan manfaat terhadap manusia khususnya dalam aspek kesihatan dan dijadikan sebagai sumber ekonomi oleh manusia. Tambahan lagi, alam sekitar diciptakan atas kehendak Allah SWT untuk manusia. Oleh yang demikian, menjadi tugas utama manusia untuk mentadbir dan memelihara sistem ekologi ini. Dengan kata lain, bagi orang-orang yang beriman, sistem ekologi dalam pengertian yang biasa bukan sekadar alam yang digunakan untuk tempat kediaman dan tempat mendapat bahan keperluan, bahkan alam adalah amanah Allah SWT yang perlu digunakan dengan sebaik-baiknya oleh manusia dengan kedudukannya sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi dan hamba-Nya.\n\u00a0Politinomik Islam\nIlmu politinomik Islam pula bermaksud suatu bidang holistik untuk mengatasi pelbagai masalah negara dan masyarakat serta berusaha untuk menyediakan remedi terkait masalah ekonomi dan sosial umat. Menurut Mohd Syakir Mohd Rosdi, ilmu politinomik Islam adalah suatu bidang baharu yang mula diketengahkan pada tahun 1990-an. Beliau mentakrifkan politinomik Islam ini sebagai suatu ilmu yang melihat kesan antara ekonomi dengan politik atau sebaliknya yang berpandukan fiqh iqtishodi, fiqh siyasi dan fiqh ijtimai\u2019e. Selain itu, politinomik Islam adalah sebagai satu ilmu baharu yang mempelajari hubungan antara kerajaan (syura) dengan subsistem pasaran. Politinomik Islam merupakan bidang yang membincangkan secara mendalam isu-isu politik, ekonomi dan sosial. Dengan kata lain, ekonomi Islam tidak dapat bernyawa tanpa politik Islam dan demikian pula politik Islam tidak kuat tanpa ekonomi Islam. Tambahan lagi, hubungan ekonomi dan politik Islam mendapat perhatian banyak penelitian daripada ahli-ahli akademik seluruh dunia.\nSelain itu, politinomik Islam secara teknikalnya lebih dikenali sebagai siyasah maliyah. Istilah lain juga disebut sebagai tadakhul al-daulah (campur tangan negara). Istilah ini telah dikembangkan oleh Muhammad Baqir Ash-Shadr apabila negara (pemerintah) turut campur tangan dalam hal berkaitan kegiatan ekonomi bagi memastikan penyesuaian undang-undang Islam berkaitan pembangunan ekonomi dilaksanakan secara menyeluruh. Pihak pemerintah akan turut serta untuk memastikan kegiatan pembangunan ekonomi mengikuti dalil yang ada dalam nas al-Quran dan hadis. Dengan kata lain, politinomik Islam bukan hanya bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup dalam sesebuah negara semata-mata, sebaliknya politinomik Islam akan memastikan keaterjaminan kehidupan setiap anggota masyarakat dalam sesebuah negara tersebut.\nSetelah meneliti takrifan oleh para pengkaji ilmu ekologi Islam dan ilmu politinomik Islam, maka kedua-dua takrifan ini dipadankan untuk membina takrifan eko-politinomik Islam. Eko-politinomik Islam yang boleh difahami daripada takrifan tersebut ialah satu ilmu yang membincangkan tentang penjagaan alam sekitar oleh ahli politik ketika proses pembangunan sesebuah negara untuk menyeimbangkan antara pembangunan ekologi dan pembangunan ekonomi seperti saranan yang terdapat dalam sumber Islam.\nDengan kata lain, kepentingan kewujudan konsep eko-politinomik Islam dapat dilihat apabila Zaini Ujang mengatakan bahawa sistem ekologi perlu mempunyai integrasi ekonomi, politik dan spiritual secara bersepadu dalam menangani kemelut alam sekitar. Spiritual di sini bermaksud dengan pendekatan agama Islam yang diintegrasikan dengan alam sekitar dan ekonomi politik. Dalam menghadapi kemelut alam sekitar ini, Islam sebagai agama yang menyeluruh dan sempurna mempunyai perspektif, kaedah, pendekatan, dan penyelesaiannya yang tersendiri. Kaedah Islam menggunakan sains, teknologi dan falsafah Islam sebagai alternatif kepada sains dan teknologi moden Barat. Pendekatannya pula menekankan aspek harmoni dan seimbang terhadap unsur-unsur alam sekitar.\n\u00a0Menangani Isu Alam Sekitar dengan Eko-Politinomik Islam\nSebagai agama yang membawa rahmat ke sekalian alam, Islam tidak hanya peduli bagaimana umat manusia menyembah Allah SWT (ibadat), dan menjalin hubungan di antara manusia (muamalat) tetapi Islam juga melindungi dan memelihara sistem ekologi di sekelilingnya sebagai tujuan utama hukum Islam (maqasid syariah). Nasr menyatakan bahawa pada hari ini dunia Islam tidak sepenuhnya mengamalkan konsep Islam. Hal ini kerana kebanyakan konsep Islam tersebut telah digantikan dengan falsafah, ideologi dan amalan kebudayaan, saintifik dan teknologi Barat. Oleh hal yang demikian, krisis ekologi dilihat semakin meluas. Krisis eko-politinomik yang sedang berlaku sebenarnya berakar umbi daripada falsafah hidup Barat yang tidak sesuai.\nFalsafah Barat hanya memfokuskan kekuasaan secara terus terhadap pemerintah secara total. Pemerintah berhak berbuat apa-apa keputusan demi memanfaatkan keuntungan dan kebendaan yang berlandaskan nafsu semata-mata. Kehancuran alam sekitar juga berlaku apabila manusia sebagai pemimpin mula memisahkan alam sekitar daripada unsur tauhid, iaitu unsur ketuhanan. Manusia sebagai pembuat dasar selaku ketua sesebuah negara mulai merasakan diri memiliki bumi ini dan berhak melakukan apa-apa sahaja kemahuan diri mengikut lunas nafsu. Pada masa yang sama, krisis alam sekitar yang dihadapi masa ini juga berpunca daripada tindakan manusia yang menodai alam sekitar secara berlebih-lebihan. Oleh sebab itu, elemen agama memainkan peranan penting ke arah mengatasi krisis alam sekitar yang dihadapi manusia kini. Hal ini dilihat penting untuk diberikan perhatian agar keghairahan nafsu bagi mengumpul harta kekayaan dengan tidak mengabaikan amanah yang perlu ditunaikan terhadap masyarakat sepenuhnya.\nOleh itu, kewajaran penerimaan falsafah Islam dan mengabaikan sebarang falsafah Barat yang memberikan kekuasaan mutlak kepada pemerintah tanpa menggariskan sebarang falsafah, prinsip dan matlamat untuk mengawalnya. Falsafah Islam dalam pelaksanaan pembangunan termasuklah pelaksanaan eko-poltiinomik perlu berdasarkan falsafah tauhid. Falsafah tauhid tersebut adalah berkaitan dengan tiga perkara utama, iaitu \u00a0Allah SWT merupakan Pencipta, manusia ialah makhluk dan hamba Allah SWT dan sumber alam juga merupakan makhluk yang sama seperti manusia. Falsafah Islam yang berpaksikan terhadap aspek tauhid tersebut dilihat lebih bersifat komprehensif dan menyeluruh dalam menyelesaikan isu eko-politinomik.\n\u00a0\nPenyelesaian krisis eko-politinomik hari ini bukanlah penyelesaian yang bersifat teknikal semata-mata, sebaliknya memerlukan penyelesaian yang bersifat falsafah. Penyelesaian Islam merupakan penyelesaian paling baik yang mempunyai aspek falsafah yang paling harmoni, iaitu aspek tauhid. Aspek tauhid ini dapat diaplikasikan dengan akal yang sempurna. Manusia ialah makhluk Allah SWT yang paling sempurna kerana dibekalkan dengan akal dan diberikan tugas sebagai khalifah di bumi. Peranan khalifah tersebut pula dinyatakan prinsipnya yang menggariskan setiap khalifah mempunyai empat prinsip yang perlu diamalkan dalam diri sebagai ketua pemerintah, iaitu melaksana keadilan; menegakkan kebenaran dan menghapuskan kemungkaran; merealisasikan syariat Islam; dan mewujudkan sistem masyarakat yang aman.\nFalsafah kekhalifahan dan kepimpinan ini pula perlu disertakan dengan falsafah perhambaan (ubudiyah) terhadap Allah SWT. Perlu diingatkan bahawa manusia dalam konteks eko-politinomik Islam sebagai pemimpin ialah hamba Allah SWT juga. Oleh itu, sebagai seorang hamba hendaklah seorang pemimpin itu patuh dan taat akan perintah suruhan dan larangan-Nya. Tambahan lagi, sebagai khalifah Allah SWT pula, manusia sebagai pemimpin mesti aktif dalam memakmurkan bumi dengan pembangunan ekonomi dan mengekalkan keharmonian alam sekitar dengan memupuk rasa kasih sayang (mahabbah) terhadap sistem ekologi yang ada di atas muka bumi. Dengan kata lain, pembuat dasar seperti pihak kerajaan tidak boleh mengabaikan alam sekitar kerana telah beraku janji dengan Allah SWT yang merupakan satu falsafah kepercayaan, iaitu (amanah) daripada Allah SWT.\u00a0 Bumi sentiasa dirosakkan apabila pemimpin mula mengabaikan falsafah amanah yang diberikan oleh Allah SWT kepada mereka. Masa depan bumi banyak bergantung kepada sikap manusia terhadap alam sekitar.\nKesimpulannya, bidang ekologi dan politinomik perlu dilihat sebagai dua bidang yang harus dirangka melalui konsep Islam kerana Islam merupakan agama kerahmatan. Kerosakan ekologi pada hari ini disebabkan bidang eko-politinomik tidak diterajui dengan mendahulukan prinsip Islam yang membawa kepada keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan penjagaan alam sekitar." "Istilah Semasa Menambat Hati Umum\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u2013 Sejak pandemik COVID-19 bermula pada tahun 2020 hingga tiga bulan terawal tahun ini, sejumlah 350 istilah baharu khususnya dalam kesihatan awam diterjemahkan atau diberikan padanan daripada istilah bahasa Inggeris. Istilah semasa ini digubal dan diumumkan melalui media sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana terdapat permintaan daripada masyarakat umum khususnya pengamal media yang memerlukan istilah dalam bahasa Melayu. Demikian antara penjelasan Dr. Rusmadi Baharudin, Ketua Bahagian Perkamusan, Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP, melaksanakan tanggungjawabnya menggubal dan menghasilkan satu-satunya istilah semasa yang menjadi keperluan media massa dan hal ini telah menarik perhatian Zetty Adriana, wartawan TV9 Media Prima, untuk mengetahui lebih lanjut usaha yang dilaksanakan oleh DBP, menerusi Buletin TV9\u00a0pada pukul 7.00 malam tadi.\nMenurut Dr. Rusmadi, istilah yang\u00a0berjaya digubal itu telah mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat umum. Antara istilah terkini yang mendapat perhatian umum\u00a0termasuklah\u00a0rumah mongel atau tiny house\u00a0dan kekili, iaitu cerita baharu atau reels dalam bahasa Inggeris yang digunakan dalam Instagram.\nSetiap istilah yang diwujudkan oleh DBP juga\u00a0bersesuaian dengan perkembangan semasa khususnya ketika masyarakat berada dalam pandemik COVID-19. Dalam keadaan masyarakat menggunakan media sosial lebih kerap, penggunaan serta penemuan pelbagai istilah dalam bahasa Inggeris yang memerlukan padanan istilah dalam bahasa Melayu mewujudkan kepelbagaian dari sudut terjemahan istilah yang berpadanan atau bersesuaian dengan bahasa Melayu.\nTambah beliau lagi, melalui media sosial, masyarakat umum dapat terus berhubung langsung dengan DBP dan bertanya hal berkaitan dengan istilah yang menuntut kepekaan DBP \u00a0terhadap keperluan masyarakat khususnya dalam bidang ini. Situasi yang berlaku ini membuktikan bahawa masyarakat masa kini cakna istilah bahasa Melayu. DBP juga menyalurkan maklumat atau perkongsian istilah ini secara interaktif di media sosial dan mengambil peluang memuat naik istilah yang berhubung dengan isu semasa dan terbukti berkesan menarik perhatian umum khususnya pengikut media sosial.\nSelain istilah, DBP juga menggunakan pendekatan penggunaan bahasa yang indah bersumberkan pantun, peribahasa dan pelbagai sumber tentang bahasa Melayu yang bertujuan untuk mendekatkan lagi bahasa kepada umum melalui media sosial. Wahana media sosial ini dilihat amat berkesan dan DBP akan terus melaksanakan usaha perkongsian istilah kepada umum melalui platform ini. Perkongsian istilah ini juga boleh dilihat dalam pelantar penerbitan digital DBP, iaitu JendelaDBP." "Harumanis Menembusi Pasaran Singapura\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nChuping \u2013 \u201cPermintaan terhadap buah Harumanis kami bukan sahaja mendapat sambutan yang baik di negara kita, malah kini telah berjaya menembusi pasaran di Singapura.\u201d\nDemikian dipersembahmaklumkan kepada Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Jamalullail oleh pemilik Ladang Harumango Chuping, Perlis, Datuk Rick Cheng Wooi Seong ketika baginda berkenan meluangkan masa melawat ladang tersebut semalam.\nTaklimat tentang operasi ladang, pemasaran dan juga promosi Harumanis Perlis yang dijalankan oleh syarikat beliau telah disampaikan kepada baginda dan juga para tetamu yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan. Syarikat berkenaan mempunyai 1300 pohon pokok untuk rakyat Malaysia dan luar negara.\nMenurut Datuk Rick, \u201cMajoriti rakyat di Malaysia mengetahui akan populariti buah ikon negeri Perlis ini tetapi masih ramai belum pernah merasainya. Penggemar Harumanis Perlis pastinya mengetahui sebab buah ini lebih mahal jika dibandingkan dengan jenis mangga yang lain. Keunikan aroma dan kemanisan serta kepayahan untuk menjaganya menjadi faktor harga Harumanis Perlis agak mahal.\u201d\nTambah beliau, Ladang Harumango yang bertempat di Kampung Chuping Bawah Bukit ini dibuka kepada orang ramai setiap hari mulai jam 9 pagi sehingga 5 petang. Pengunjung berpeluang melawat ladang, merasai buah Harumanis Perlis, serta mempelajari tentang kaedah menjaga pokok Harumanis.\nDatuk Rick kini dalam perancangan untuk menjadikan Ladang Harumango beliau sebagai pusat tarikan \u201cagrotourisme\u201d yang akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.\nTuanku Pemangku Raja menzahirkan rasa gembira akan perkembangan positif sepertimana taklimat yang diberikan. Baginda juga berharap perniagaan pengusaha-pengusaha Harumanis Negeri Perlis akan terus maju bukan sahaja untuk memenuhi permintaan rakyat Malaysia bahkan ke luar negara dengan harga dari ladang yang memuaskan para pengusahanya." "Malaysia dan Indonesia Lancar Komersial Jalinan Pembayaran Kod QR Rentas Sempadan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Indonesia (BI) mengumumkan pelancaran komersial jalinan pembayaran kod respons pantas (QR) rentas sempadan antara Indonesia dengan Malaysia pada 8 Mei lalu susulan kejayaan fasa rintis jalanan yang diumumkan pada 27 Januari 2022.\nMenurut kenyataan bersama BNM dan BI, pelancaran komersial jalinan itu menyaksikan penyertaan institusi kewangan peserta yang lebih banyak termasuk institusi kewangan bukan bank. Tambahnya, hal itu akan membolehkan lebih banyak rakyat Indonesia dan Malaysia membuat pembayaran runcit secara segera di kedua-dua negara dengan mengimbas kod QR Code Standar Pembayaran Nasional (QRIS) atau DuitNow QR di kedai mahu pun secara dalam talian menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi kewangan peser\nGabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata jalinan antara negara ASEAN kini semakin kukuh dan lebih banyak pengguna dari Malaysia dan Indonesia akan mendapat manfaat daripada pengalaman yang selamat, lebih lancar dan lebih cekap untuk membuat serta menerima pembayaran rentas sempadan. \u201cSeterusnya, hal ini mewujudkan potensi besar untuk merangsang kegiatan ekonomi antara kedua-dua negara, termasuk perbelanjaan pelancongan serta akan membantu memperluas pasaran sesetengah perniagaan dan memudahkan penyelesaian dalam mata wang tempatan yang lebih banyak, lantas meningkatkan hasil kewangan,\u201d katanya dalam kenyataan tersebut. Tambah beliau, jalinan pembayaran QR antara Malaysia dengan Indonesia menjadi pelengkap kepada jalinan pembayaran dua hala antara negara ASEAN yang akan menyumbang ke arah ASEAN yang lebih teguh dan membangunkan lagi rantau ini sebagai pusat pertumbuhan.\nSementara itu, Gabenor Bank Indonesia, Perry Warjiyo, berkata jalinan pembayaran QR rentas sempadan antara Indonesia dengan Malaysia adalah satu bukti nyata kerjasama Kesalinghubungan Pembayaran Serantau yang kukuh untuk menggalakkan pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, murah, telus serta inklusif khususnya memberikan manfaat kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana. Tambah beliau, jalinan ini selaras dengan inisiatif \u2018Roadmap for Enhancing Cross Border Payments oleh G20\u2019, dan pencapaian penting bagi Indonesia selaku pengerusi ASEAN pada tahun 2023 serta mewakili satu lagi peristiwa penting bagi Blueprint Sistem Pembayaran Indonesia 2025. \u201cJalinan pembayaran ini menyediakan lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk membuat transaksi pembayaran rentas sempadan dan bertindak sebagai faktor penting untuk meningkatkan kecekapan serta menggalakkan ekonomi digital dan rangkuman kewangan di rantau ini,\u201d katanya." "Inisiatif Payung Rahmah Bantu Golongan Berpendapatan Rendah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani \u2013 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus mengamalkan semangat keprihatinan dan konsep kasih sayang kerajaan kepada rakyat Malaysia berikutan memperkenalkan Jualan Rahmah, Bakul Rahmah dan Payung Rahmah.\nMenterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan-rakan strategik yang terlibat, banyak pihak yang memperoleh manfaat darinya. Tambah beliau lagi, masyarakat tempatan boleh membeli barang dengan harga yang lebih rendah melalui Jualan Rahmah. \u201cKPDN juga melaksanakan Inisiatif Bakul Rahmah iaitu merangkumi barang keperluan asas antaranya, beras, minyak masak, susu pekat dan lain-lain. Bakul itu terus diagihkan kepada golongan yang memerlukan.\u201cMelalui Program Payung Rahmah diterajui KPDN, pengguna dijangka dapat berbelanja keperluan harian dengan harga berpatutan di samping dapat ganjaran istimewa ditawarkan oleh peniaga,\u201c katanya.\nBeliau berkata demikian semasa merasmikan Pasar Raya TF Value-Mart Sungai Lalang di sini hari ini. Cawangan itu merupakan Pasar Raya TF Value-Mart yang ke-44 dibuka di seluruh negara dan yang ke-6 beroperasi di negeri Kedah. \u201cMelalui usaha begini, ia akan memberi banyak kemudahan kepada penduduk di bandar-bandar kecil dan kawasan luar bandar bagi mendapatkan pelbagai barang keperluan dengan harga yang lebih rendah. \u201cTerima kasih kepada semua pihak kerana terus memberi kerjasama bagi menjayakan setiap program diperkenalkan oleh KPDN,\u201c katanya lagi.\nTurut hadir di majlis itu, Pengarah KPDN Negeri Kedah, Affendi Rajini Khan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, R. Sammugam dan Pengurus Operasi Pasar Raya TF Value-Mart Sungai Lalang, Faizol Baba Ahmad." "IHPRP Malaysia Naik 3.4%\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) Malaysia meningkat 3.4% tahun ke tahun kepada 114.7 mata pada suku pertama 2023 daripada 110.9 pada suku tahun sama pada tahun lepas berikutan kebanyakan subsektor mencatatkan peningkatan harga pada suku tahun tersebut.\nKetua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa antara subsektor itu, penginapan serta aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman meningkat 8.3% tahun ke tahun pada suku pertama 2023 daripada 8% tahun ke tahun pada suku keempat 2022 berikutan peningkatan dalam restoran dan aktiviti perkhidmatan makanan bergerak yang naik 9.8%.\nSubsektor pengangkutan meningkat 6.5% tahun ke tahun daripada 5.3% tahun ke tahun pada suku keempat 2022 disumbangkan oleh pengangkutan penumpang udara yang meningkat 25.6%. Subsektor kesenian, hiburan dan rekreasi serta pendidikan, masing-masing merekodkan 1.1 peratus kenaikan disebabkan oleh aktiviti hiburan dan rekreasi lain (naik 1.9%) dan pendidikan menengah (1.9%). Beliau menambah subsektor lain yang merekodkan kenaikan ialah profesional (0.5%) dan kesihatan (0.4%) manakala subsektor aktiviti hartanah serta maklumat dan komunikasi kekal tidak berubah.\nBagi suku kepada suku, IHPRP meningkat 0.3% berbanding 0.4% yang dilaporkan pada suku tahun sebelumnya. Beliau berkata peningkatan ini disebabkan oleh indeks penginapan serta aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman (1.3%), pendidikan (0.5%), pengangkutan (0.3%), kesihatan (0.2%) dan profesional (0.1%). Indeks kesenian, hiburan dan rekreasi mencatatkan penurunan negatif 1.7% manakala indeks aktiviti hartanah serta maklumat dan komunikasi kekal tidak berubah." "Perlis Alu-alukan Pelabur Bangunkan Sektor Pertanian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyambut baik kedatangan pelabur bersaiz sederhana dan individu tempatan yang \u00c2\u00a0membangunkan projek pertanian komersial di negeri Perlis. Hal itu dapat dilihat dengan adanya ladang Harumanis Perlis, superfruits, nanas, jagung bijian, pusat ternakan lembu, kambing, ayam kampung, itik dan burung puyuh.\nKeadaan tanah subur di Perlis juga telah membolehkan tanaman jagung bijian berkualiti tinggi dan rumput napier dapat dihasilkan secara besar-besaran di negeri ini. Terkini, Perlis merupakan salah satu negeri yang telah membantu negara mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan makanan ternakan dari negara luar. Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 140 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak Kariah Kampung Chemumar dan Kampung Sematang Serdang yang diadakan di Masjid Babul Ibadah Kampung Chemumar. Penerima sumbangan itu menerima RM700 dan jumlah penuh disumbangkan oleh MAIPs pada kali ini ialah RM98 000.\nBagindan turut menambah kekurangan bekalan makanan dan kenaikan harga makanan telah menjadi bualan dan rungutan rakyat. Merujuk Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) 2022, Malaysia berada di tangga ke-41 yang turun tujuh anak tangga. Hal itu menunjukkan bahawa sektor ini masih perlu diberi perhatian agar jaminan bekalan makanan negara terus terjamin dan tidak bergantung kepada import." "Gaji Minimum Dapat Mengurangkan Tekanan Kos Sara Hidup\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Menurut peruntukan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara, majikan yang tidak melaksanakan perintah gaji minimum boleh disabitkan kesalahan dan boleh dikenakan denda sebanyak RM10 000 bagi seorang pekerja dan sekiranya kesalahan tersebut berulang akan dikenakan RM1000 sehari. Walau bagaimanapun, masih terdapat majikan yang ingkar kepada peraturan berkenaan. Hal ini turut dijelaskan secara terperinci oleh Dr. Elya Nabila Abdul Bahri yang juga merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya menerusi siri temu bual rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran RTM.\nMenurut beliau, peningkatan gaji minimum pada ketika ini merupakan satu perkara penting yang perlu dititikberatkan. Hal itu demikian kerana peningkatan gaji minimum dapat meningkatkan kuasa beli dan meringankan golongan pekerja selaku pengguna, khususnya golongan B40. Peningkatan gaji minimum RM1500 dilihat bersesuaian dengan keadaan kenaikan kos sara hidup semasa. Dalam masa yang sama, peningkatan gaji minimum juga dapat meningkatkan simpanan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) kerana caruman simpanan berdasarkan peratusan gaji yang diterima. Peningkatan gaji minimum ini tidak membebankan golongan B40 kerana mereka masih lagi tidak perlu membayar cukai disebabkan oleh kadar gaji yang diterima masih lagi berada di bawah paras RM3100.\nSementara itu, beliau juga turut mencadangkan agar pelaksanaan gaji minimum di Malaysia dapat diperhalusi oleh pihak yang terlibat, khususnya yang melibatkan sektor perkerjaan yang mempunyai pekerja asing. Hal ini demikian kerana sektor pekerjaan 3D (Bahaya, Susah dan Kotor) dipelopori oleh pekerja asing. Menurut kajian DOSM pada tahun 2018, pekerja asing sanggup menghantar wang yang diperolehi daripada gaji ke negara asal sebanyak hampir daripada 80 peratus gaji yang diterima. Hanya baki 20 peratus akan digunakan untuk menampung kehidupan di negara ini. Ditambah pula dengan sebahagian majikan yang menyediakan kemudahan tempat tinggal dan pengangkutan. Maka banyak kos perbelanjaan yang dapat dijimatkan oleh pekerja asing hasil daripada gaji yang diterima setiap bulan." "Pinjaman Tahap 2 Susut 5% pada Suku Pertama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus melaporkan bahawa pinjaman tahap 2 di Malaysia bertambah baik pada suku pertama 2023, menyusut kepada 5.0% apabila lebih ramai peminjam berjaya beralih daripada program bantuan pembayaran balik.\nBeliau turut menambah kualiti pinjaman isi rumah kekal kukuh disokong oleh keadaan pasaran buruh yang agak positif dan ketersediaan bantuan. Hal itu terutamanya melibatkan pinjaman untuk membeli rumah dan kereta, selaras dengan peningkatan pendapatan. Keadaan itu juga disokong oleh penilaian kemampuan pinjaman berhemat oleh bank yang membantu memastikan peminjam mempunyai penampan terhadap kenaikan kos. Kemerosotan kekal rendah dan dalam jangkaan dalam kalangan peminjam daripada semua kumpulan pendapatan.\nMajoriti peminjam yang keluar daripada program bantuan bayaran balik terus mengekalkan tingkah laku pembayaran balik yang baik dengan tanda-tanda kesukaran yang terhad. Sehubungan itu, petunjuk risiko kredit utama seperti pinjaman Tahap 2 terus memberangsangkan, seterusnya menunjukkan bahawa rosot nilai tambahan mungkin akan kekal terkawal. Pinjaman tahap 2 merupakan bahagian pinjaman yang telah menunjukkan kemerosotan dalam risiko kredit dengan bank dikehendaki mengetepikan peruntukan berdasarkan kerugian yang dijangkakan seumur hidup di bawah Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 9.\nNisbah pinjaman Tahap 2 diperkenalkan melalui pelaksanaan piawaian MFRS9 bermula 1 Jan 2018. Sementara itu, pertumbuhan permohonan pinjaman perniagaan yang lebih tinggi melalui suku pertama telah didorong oleh pinjaman pelaburan, terutamanya bagi membina dan membeli hartanah bukan kediaman.\nKapasiti pembayaran balik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) secara agregat juga kekal mantap dan terus meningkat. Ekonomi Malaysia mencatatkan pengembangan yang lebih baik daripada jangkaan sebanyak 5.6% pada suku pertama 2023." "Kerajaan Komited Bangunkan Sektor Industri Automatif Sebagai Sektor Ekonomi Strategik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan bahawa kerajaan komited membangunkan industri automotif sebagai sektor ekonomi strategik yang membuka pelbagai peluang kejuruteraan.\nBeliau menyatakan bahawa impak yang penting dicetuskan oleh negara pengeluar utama automotif ialah penciptaan peluang pekerjaan dan pembangunan tenaga kerja mahir serta mewujudkan pelbagai peluang perniagaan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Peluang muncul dalam bidang tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga, sistem simpanan tenaga dan perkhidmatan sokongan bagi kenderaan elektrik (EV) seperti stesen pengecas, operasi dan penyenggaraan EV.\nMITI sedang meneliti dengan serius dasar yang akan menyokong sektor ini untuk memastikan ekosistem EV lengkap dan disokong sepenuhnya, termasuk piawaian, pensijilan dan pengesahan yang berkaitan dengan sistem pengecasan, aktiviti pelupusan bateri, penukaran bateri dan pengecasan tanpa wayar." "NCIA dan MIDA Lipat Gandakan Usaha Tarik Pelabur ke Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap agar Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) terus melipatgandakan usaha bagi membantu mempromosikan serta menarik minat pelabur datang ke negeri Perlis.\nBaginda juga berharap agar beberapa projek keutamaan Perlis yang dipohon di bawah Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dapat diberi pertimbangan positif oleh kerajaan persekutuan.\n\u201cTunjukkan sifat mesra pelabur dengan memberikan kemudahan yang dapat memudahkan urusan para pelabur di negeri ini.\n\u201cPenambahbaikan dan pendekatan ini akan meletakkan Perlis sebagai satu daripada destinasi baharu yang menarik untuk pelaburan di negara ini,\u201d titah baginda semasa berangkat menyampaikan agihan zakat oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid As-Syakirin, Kampung Oran, Mata Ayer.\nAntara projek yang dipohon termasuklah Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian, Pembinaan Kompleks Ambulatory Care Centre, Pembangunan Infrastruktur Nakawan Border Industrial Park, Perlis Geopark, Kompleks Rakan Muda dan Hab Perikanan.\nProjek tersebut selari dengan dasar sedia ada negeri yang menyokong nod pembangunan dalam usaha merealisasikan hasrat Perlis menjadi bandar raya menjelang tahun 2030." "Rizab Antarabangsa BNM Meningkat kepada USD 114.7 Bilion\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada USD 114.7 bilion setakat 15 Mei 2023 daripada USD 114.4 bilion pada 28 April 2023.\nBNM menyatakan bahawa paras rizab itu mencukupi untuk membiayai 4.9 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek. Komponen utama rizab antarabangsa ialah rizab mata wang asing (USD 102.1 bilion), paras rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (USD 1.4 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (USD 5.8 bilion), emas (USD 2.5 bilion), dan aset-aset rizab lain (USD 2.9 bilion).\nJumlah aset berjumlah RM620.02 bilion, terdiri daripada emas dan pertukaran asing serta rizab lain, termasuk SDR (RM506.33 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.21 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM2.63 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM23.45 bilion), tanah dan bangunan (RM4.14 bilion) dan aset-aset lain (RM71.26 bilion).\nBNM menyatakan bahawa modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM 100 juta), rizab (RM 167.93 bilion), mata wang dalam edaran (RM 161.55 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM 202.81 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM 5.76 bilion), deposit-deposit lain (RM 39.84 bilion), kertas Bank Negara (RM 9.66 bllion), peruntukan SDR (RM 28.73 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM 3.65 bilion)." "Pengaruh Jawi Mendinamikkan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur\u00a0\u2013\u00a0Sumbangan terpenting bahasa Melayu (Jawi) ialah melahirkan bangsa Melayu yang mempunyai jati diri yang begitu sebati dengan agama Islam. Menurut Encik Muhammad Syukri Rosli, Pengerusi Akademi Jawi, sesuatu bahasa itu amat sinonim dengan makna diri sesuatu bangsa dan juga agamanya. Penelitian terhadap peranan bahasa sebagai identiti, makna diri serta hakikat diri kepada sesuatu bangsa menduduki tempat yang terpenting serta kritikal, mendesak dan amat mustahak dipertahankan oleh mana-mana bangsa di dunia ini apatah lagi yang berhubung bahasa Melayu (Jawi) ini.\nTulisan Jawi merupakan warisan yang dimiliki oleh rakyat negara ini hasil pengaruh Islam yang cukup besar serta perkembangan ilmu yang pesat di Alam Melayu sejak kurun 1300 Masihi. Bermula di batu-batu bersurat, tulisan Jawi menjadi aksara yang menjelmakan berpuluh-puluh ribu naskhah yang mengandungi pelbagai ilmu dari Alam Melayu. Antara ilmu yang terkandung dalam pelbagai manuskrip itu termasuklah kosmologi, astronomi, ilmu falak, ilmu persuratan, agama, adat budaya, undang-undang, sains, perubatan dan lain-lain.\nTambahnya lagi, masyarakat pada hari ini perlu diberikan penekanan tentang bahasa yang berperanan secara langsung dalam menghubungkan bangsa dengan pembentukan jati diri sesuatu bangsa. Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan ada memperincikan \u201cMelayu\u201d\u00a0itu dengan takrifan sebagai seorang yang beragama Islam, mengamalkan adat budaya orang Melayu dan menggunakan\u00a0bahasa Melayu. Unsur bahasa itu sangat dominan dalam menentukan takrif serta membentuk akal budi, jati diri serta hakikat diri sesuatu bangsa khususnya yang merujuk bangsa Melayu di negara ini.\nTegas beliau, yang membezakan bangsa dan budaya seseorang itu juga adalah berdasarkan bahasa yang dimilikinya. Oleh itu, bahasa mempunyai kedudukan yang terpenting dalam memaknakan diri sesuatu bangsa. Selain itu, bahasa Melayu (Jawi) juga telah mencetuskan satu tradisi keunggulan bangsa Melayu ketika era ini, iaitu Tradisi Persuratan Bahasa Jawi.\nDemikianlah\u00a0antara inti pati menarik daripada slot Pengajian secara dalam talian Akademi Watan (Kursus 3 Modul 6), yang bersiaran semalam menerusi FB Langsung Akademi Watan. Tajuk yang dihuraikan ialah \u201cBahasa Melayu (Jawi) Menunjukkan Akal Budi Bangsa\u201d, yang dipengerusikan oleh Ahmad Ali Karim.\u00a0Oleh itu, untuk mengikuti perkongsian ini dengan lebih terperinci, para pembaca bolehlah melayari laman rasmi Facebook Akademi Watan dan semoga perkongsian ini akan dapat menyuburkan rasa cinta kepada warisan Jawi yang dimiliki pada hari ini." "Jabatan Pertanian Negeri Kedah Lantik Duta Pertanian Harumanis D\u2019Aman\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani \u2013 Jabatan Pertanian Negeri Kedah merasmikan Fiesta Harumanis D\u2019Aman 2023 di Pasar Raya Amanjaya Sungai Petani, Kedah semalam.\nBersempena dengan Fiesta Harumanis D\u2019Aman yang berlangsung selama tiga hari itu, Pengarah Drama, Filem, Teater, Pelakon dan Bekas Juara program realiti televisyen (TV) Anak Wayang, Mohd Hairi Safwan Aznan dilantik menjadi Duta Pertanian Harumanis D\u2019Aman negeri Kedah.\n\u201cSaya bersyukur ke hadrat Illahi dengan perlantikan ini. Setelah menjadi Duta Pertanian, banyak perkara yang baik perlu dilakukan bagi memperluas lagi kempen tanaman Mempelam Harumanis D\u2019Aman itu.\u201c\n\u201cBila projek tanaman itu dapat diperluas, penduduk di beberapa daerah di negeri Kedah sudah tentu akan memperoleh pendapatan lumayan,\u201c katanya.\nDi Kedah terdapat beberapa kawasan yang telah dikenal pasti dan cukup sesuai untuk ditanam Mempelam Harumanis, antaranya termasuklah di daerah Kubang Pasu, Sik, Baling, Bandar Baharu dan Padang Terap.\nPengarah Pertanian Negeri, Ramli Abdul Rahman berkata, Pelan Pembangunan Pertanian Negeri Kedah 2021-2025 yang dilancarkan diharapkan dapat berjalan dengan\nlancar.\nSehingga bulan April 2023, keluasan penanaman Mempelam Harumanis di negeri Kedah adalah seluas 107.76 hektar dengan anggaran pengeluaran sebanyak 70.90 tan metrik. Bilangan petani yang mengusahakannya pula sekitar 131 orang. Bilangan peserta akan meningkat menjelang tahun 2025 nanti.\n\u201cJabatan Pertanian Negeri Kedah menyasarkan jumlah pengeluaran dapat ditingkatkan hingga 600 tan metrik tanaman itu di atas tanah seluas 200 hektar semusim menjelang 2025 nanti,\u201d katanya.\nPengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan,\nPerladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri\nKedah, Datuk Azman Nasrudin pula ketika merasmikan Fiesta Harumanis D\u2019Aman 2023 itu berkata,\n\u201cSaya berharap usahawan Harumanis Negeri Kedah dan agensi kerajaan yang berkaitan sentiasa berganding bahu bagi mempromosi Mempelam Harumanis D\u2019Aman hingga pasarannya sampai ke negara Timur Tengah dan negara lain.\u201c" "Pelabur Malaysia Dipelawa untuk Melabur di Kemboja\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh mengalu-alukan lebih banyak pelabur dari Malaysia untuk datang mencari peluang yang sedia ada ditawarkan oleh negara Kemboja. Antara sektor yang boleh diceburi ialah telekomunikasi, pertanian, pemakanan dan infrastruktur. Pertumbuhan ekonomi negara Kemboja yang semakin pesat menjadi faktor tarikan utama ramai pelabur asing mengambil peluang untuk menjalankan pelbagai perniagaan mereka di negara tersebut.\nKerajaan Kemboja komited untuk menjadikan negara berkenaan sebagai sebuah destinasi perdagangan antarabangsa dan usaha itu berjaya menarik minat para pelabur besar seperti negara China yang telah banyak membantu Kemboja dalam menjana ekonominya dalam Rangka Pelan Tahun 2020-2025. Demikian menurut siaran media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dipersembah maklumkan oleh Duta Besar Malaysia ke Cambodia, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim kepada Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perlis, \u00a0Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh bagi mengucapkan selamat berangkat pulang ke tanah air kepada Baginda semalam.\nTurut berada di lapangan terbang ialah Pengerusi Jawatankuasa Panel Timbangtara Sukan SEA, Datuk M.Rajasekaran dan Mantan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo. Duli Yang Maha Mulia Tuanku Pemangku Raja dan Duli Yang Teramat Mulia, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berada di Phnom Penh bagi menyaksikan Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-32 yang berlangsung di Kemboja.\nPada hari keberangkatan tiba Baginda, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs telah berkenan menyerahkan sumbangan Tabung Ibnu Sabil MAIPs bernilai RM5000 kepada Penasihat Kedutaan, Nur Herzazilla Ghazali dan Setiausaha Ketiga, Mohd Syazwan Mohd Nasir yang menerima bagi pihak Pejabat Kedutaan. Sumbangan tersebut adalah untuk digunakan bagi membantu rakyat Malaysia yang berdepan situasi kecemasan, terputus bekalan sara diri,\u00a0 terkandas untuk kembali ke tempat asal atau bagi meneruskan perjalanan.\nPada kesempatan yang sama, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra menitahkan harapan supaya semua pihak di negeri Perlis akan mempergiatkan lagi usaha \u00a0bagi membolehkan negeri Perlis berada setanding negeri maju yang lain. Kesinambungan projek yang dirancang terdahulu serta perancangan pembangunan baharu yang berpotensi hendaklah diketengahkan dengan lebih agresif, pantas dan berimpak.\nSumber foto: MAIPs" "Inflasi Malaysia Meningkat kepada 3.3% Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan bahawa inflasi Malaysia pada tahun 2022 meningkat 3.3% berbanding 2.5% pada tahun 2021, dengan mata indeks mencatatkan 127.2 tahun lepas berbanding 123.1 pada tahun 2021.\nKetua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa peningkatan ini terutamanya didorong oleh makanan dan minuman (5.8%), restoran dan hotel (5.0%), pengangkutan (4.7%) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.5%). Peningkatan inflasi 2022 juga seiring dengan kenaikan harga majoriti komoditi, pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding mata wang utama dan ketegangan geopolitik antara Rusia dan Ukraine. Kenaikan ketara direkodkan oleh semua subkumpulan makanan dan minuman dan mencatatkan kenaikan antara 2.9% hingga 8.6%. Selain itu, kejadian seperti banjir dan tanah runtuh juga telah menyebabkan gangguan dalam bekalan produk pertanian, menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan kenaikan harga.\nPembukaan semula sektor pelancongan pada April 2022 kepada pelancong antarabangsa memberi kesan kepada inflasi restoran dan hotel yang mencatatkan peningkatan 5% pada tahun 2022 berbanding 0.4 peratus yang dicatatkan pada tahun 2021, manakala inflasi tertinggi pada tahun 2022 dicatatkan pada Ogos 2022 pada 4.7%. Keadaan itu terjadi disebabkan oleh kesan asas yang lebih rendah pada \u00c2\u00a0tahun 2021 berikutan diskaun bil elektrik yang diberikan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Kesejahteraan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi Negara (PEMULIH) dari Julai hingga September 2021.\nSelain itu, inflasi pada tahun 2022 turut disumbangkan oleh perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (2.3%); pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.0%) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.8%). Walaupun terdapat peningkatan dalam majoriti item dalam bakul IHP, terdapat 17.0% item yang mencatatkan penurunan dan kekal tidak berubah dan secara tidak langsung meredakan inflasi. Antara barangan yang menunjukkan penurunan harga ialah halia (-15.7%), rambutan (-3.9%) dan tali pinggang (-3.6%), manakala tambang Light Rapid Transit (LRT), caj pembetungan dan majalah kekal tidak berubah.\nInflasi bagi pengangkutan menunjukkan peningkatan yang lebih perlahan iaitu 4.7% pada tahun 2022 berbanding tahun 2021 (11.0%), yang disumbangkan oleh subkumpulan pengurusan alat pengangkutan persendirian yang menyederhana kepada 5.8% berbanding 14.1% pada tahun 2021. Hal itu adalah disebabkan oleh tamatnya kesan asas rendah berikutan penetapan harga siling petrol tanpa plumbum RON95 kepada RM2.05 seliter pada Mac 2021. Purata harga petrol tanpa plumbum RON95 pada tahun 2022 meningkat sebanyak 1.1% (RM2.05) tahun ke tahun berbanding 21.2% (RM2.03) pada tahun 2021. Namun begitu, purata harga petrol tanpa plumbum RON97 meningkat ketara kepada RM3.97 seliter berbanding RM2.65 pada tahun 2021.\nInflasi tanpa bahan api meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol tanpa plumbum RON95, petrol tanpa plumbum RON97 dan diesel, telah meningkat sebanyak 3.2% pada tahun 2022 berbanding 1.2% pada tahun 2021. Inflasi teras merangkumi semua barangan dan perkhidmatan yang tidak termasuk makanan segar dengan harga yang tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan yang dikawal harga. Inflasi teras menunjukkan peningkatan kepada 3.0% berbanding 0.7% pada tahun sebelumnya.\nMengulas tentang inflasi di peringkat negeri pula, beliau menjelaskan kesemua negeri menunjukkan peningkatan dalam inflasi dan tiga negeri menunjukkan peningkatan melepasi paras inflasi nasional 3.3% pada tahun 2022. Beliau menyatakan bahawa peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Putrajaya (7.3%), Selangor (4.2%) dan Johor (3.4%), manakala Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan peningkatan terendah iaitu 2.4%.\nBagi inflasi makanan dan minuman, Putrajaya mencatatkan kenaikan tertinggi 7.7% diikuti oleh Selangor (7.4%), Johor (6.1%) dan Pulau Pinang (6.0%). Negeri lain juga mengalami peningkatan di bawah paras inflasi kumpulan makanan dan minuman nasional iaitu 5.8% pada tahun 2022. Peningkatan ini terutamanya disebabkan oleh kenaikan harga ayam, telur dan minyak pada tahun 2022 disebabkan oleh tekanan geopolitik antara Russia dan Ukraine yang merupakan antara pengeksport bahan mentah bagi produk makanan di Malaysia seperti baja dan tepung gandum." "Ekonomi Perlis Menunjukkan Pertumbuhan Positif Pasca-COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPhnom Penh, Cambodia \u2013 Prestasi ekonomi negeri Perlis\u00a0 pasca-COVID-19 mulai menunjukkan pertumbuhan yang positif untuk pulih bagi melonjakkan semula ekonomi negeri dan rakyat dengan kadar pertumbuhan 1.5% yang dicatatkan pada tahun 2021 berbanding dengan penyusutan 6.0% pada tahun 2020.\n\u201cBerdasarkan statistik, beberapa sektor menyumbang kepada peningkatan KDNK negeri, iaitu sektor perkhidmatan yang meningkat sebanyak 2.3%, sektor pembuatan meningkat sebanyak 5.4% dan sektor pembinaan menunjukkan peningkatan sebanyak 0.2%. Melalui pencapaian ini, adalah diharapkan agar negeri Perlis akan dapat menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara melalui peningkatan dalam sektor ekonomi utama termasuklah sektor perkhidmatan dan logistik, perlombongan dan pengkuarian, pelancongan, pertanian, keusahawanan dan penjanaan ekonomi berasaskan digital serta industri.\u201d\n\nDemikian titah Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan mengadakan pertemuan silaturahim dengan Puteri Norodom Arunrasmy, iaitu anakanda bongsu kepada Raja Norodom Sihanouk dan adinda kepada Raja Norodom Sihamoni baru-baru ini. Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, \u00a0Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.\nPuteri Arunrasmy dan suami, Keo Puth Reasmey turut meraikan Tuanku Pemangku Raja dan Tuanku Raja Puan Muda dengan santapan malam pada hari yang sama." "DBP dan LHDN Jalin Kerjasama Strategik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013 Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) telah dimeterai oleh pengurusan tertinggi kedua-dua pihak diketuai oleh YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL dan YBhg. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP.\nMoU itu dimeterai hasil kesepakatan dua entiti penting negara yang berbeza lapangan profesional menyahut saranan membangun negara MADANI khususnya dalam hal pendidikan percukaian serta perkembangan bahasa dan sastera berdasarkan fungsi masing-masing. Antara agenda kerjasama utama yang disepakati termasuklah Program Cakna Percukaian HASiL \u2013 DBP. Kerjasama ini memperkukuh dan memperluas program kesedaran cukai kepada masyarakat melalui pelbagai wahana penerbitan dan saluran media sosial DBP. Selain itu, bakat pengkaryaan turut digilap melalui kerjasama pengembangan bakat sastera dan penulisan.\nDalam ucapan Ketua Pengarah DBP, YBhg. Dr. Hazami Jahari, beliau menyatakan bahawa jalinan kerjasama strategik ini juga diyakini dapat meneroka pembangunan bakat kakitangan di kedua-dua agensi dalam hal percukaian, menyuburkan semangat cinta akan bahasa dan sastera kebangsaan yang mengimbangi kemajuan ekonomi, di samping kemajuan insaniah dalam pembentukan negara bangsa gemilang masa depan.\nSementara itu, YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi dalam ucapannya menjelaskan bahawa kerjasama yang dijalinkan dengan DBP ini merupakan antara inisiatif HASiL dalam merakyatkan percukaian selaras dengan pendekatan kesedaran (awareness), pendidikan (education) dan perkhidmatan (services) atau ringkasnya AES yang dilaksanakan oleh HASiL pada masa ini. Pendekatan tersebut diharapkan dapat memberikan kefahaman terhadap masyarakat tentang fungsi dan peranan cukai dalam pembangunan negara sekali gus mendorong mereka untuk melaksanakan tanggungjawab percukaian kepada negara. Semoga pelaksanaan MoU ini memberi impak terhadap pematuhan cukai sukarela dan seterusnya menyumbang kepada kelestarian hasil negara.\nTurut hadir dalam majlis yang bersejarah ini ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP,\u00a0 Tuan Haji Md Johari Hasan,\u00a0 Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) HASiL, Puan Wan Ramiza Wan Ghazali,\u00a0 dan pegawai-pegawai kanan dari kedua-dua agensi." "Hari Apresiasi Pewakaf 2023 Kedah Erat Kerjasama antara YWM dengan MAIK\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAlor Setar \u2013 Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) menganjurkan Hari Apresiasi Pewakaf 2023 di The Hotel Jerai Alor Setar bagi menghargai pewakaf di negeri Kedah, semalam. Sebanyak 100 orang pewakaf YWM serta kakitangan MAIK hadir bersempena dengan program tersebut.\nUrus setia majlis tersebut, Haidatul Azia Husin berkata, usaha tersebut berupaya menjalin semangat kerjasama yang lebih erat antara YWM dengan MAIK dalam usaha memperkasakan wakaf di negeri Kedah khususnya.\n\u201cMereka yang diraikan ini adalah antara pewakaf yang telah mewakafkan wang tunai secara potongan gaji menggunakan kod potongan gaji YWM, iaitu 4474 atau secara sekali beri\u00a0dan termasuk juga para pewakaf yang mewakafkan aset atau harta tidak alih mereka kepada MAIK.\n\u201cBerdasarkan data yang diperoleh daripada Sistem Wakaf Tunai Malaysia, YWM sehingga 17 Mei 2023, terdapat sebanyak 25 841 orang pewakaf berdaftar dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 1087 pewakaf adalah dari negeri Kedah,\u201c katanya.\nMenurutnya, bagi pewakafan secara tunai melalui potongan gaji di negeri Kedah bermula pada tahun 2018 hingga kini, sebanyak 138 orang dengan nilai transaksi sebanyak RM209 033.44 dan daripada jumlah itu, terdapat seorang pewakaf memberikan sumbangan wakaf tertinggi yang bernilai RM51 550.\n\u201cSehubungan itu, YWM telah menghulur sumbangan sejumlah RM25 550 kepada pihak tertentu di negeri ini, termasuk RM10 000 untuk Pembinaan Pusat Pelupusan Al-Quran di Masjid Al-Ala Pekan Jitra, RM10 550 untuk Projek Infak Mini Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) untuk murid Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA)\u00a0 negeri Kedah dan RM5000 lagi untuk Pusat Jagaan Darul Aitam Wal Masakin Sultanah Haminah di Lorong Seri Alor Setar.\n\u201cKini, urusan pewakafan menjadi lebih mudah dengan adanya skim berwakaf secara potongan gaji sama ada untuk penjawat awam atau swasta,\u201c katanya lagi.\nYWM mengalu-alukan semua pihak sama ada individu, syarikat swasta atau korporat bersama-sama menyokong amalan berwakaf menerusi kempen #WakafSeringgitJe anjuran YWM yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Ramadan 1444 lalu. Haidatul Azia menambah, sumbangan wakaf serendah RM1 boleh disalurkan ke akaun Yayasan Waqaf Malaysia melalui CIMB Islamic Bank Berhad." "Pelaksanaan e-Invois Bantu Tingkatkan Kecekapan Kutipan Hasil Cukai Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia(HASiL) mengadakan sesi libat urus pelaksanaan e-invois bersama-sama dengan pengamal media dan\u00a0 industri. Sesi tersebut melibatkan pemain industri, media dan pempengaruh media sosial. Sesi itu diadakan bertujuan untuk memberikan input dan mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan tentang pelaksanaan e-invois.\nKetua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi dalam ucapannya menjelaskan bahawa pelaksanaan e-invois tersebut telah dibentangkan dalam Belanjawan 2023. Beliau menambah bahawa pelaksanaan e-invois ini bukan sahaja mampu menambah baik kualiti perkhidmatan yang ditawarkan oleh pentadbir cukai, malah turut memberikan banyak manfaat terhadap pembayar cukai dari segi meningkatkan kecekapan operasi perniagaan, memudahkan urusan penyimpanan rekod dan mengurangkan kos pematuhan cukai mereka. Selain itu, pelaksanaan e-invois ini juga dapat mewujudkan transaksi perniagaan yang lebih telus sekali gus membantu kerajaan mengatasi masalah ekonomi bayangan (shadow economy) dalam urus niaga.\nPelaksanaan e-invois ini akan diadakan secara berperingkat mulai akhir tahun 2023 seperti dalam jadual di bawah dengan memfokuskan terhadap pembangunan sistem dan projek rintis bersama-sama pembayar cukai terpilih. Penggunaannya adalah diwajibkan kepada perniagaan mengikut nilai ambang jualan secara berperingkat bermula pada Jun 2024.\nTurut sama hadir dalam sesi libat urus ini ialah YBhg. Datuk Dr. Sotimin Muhalip, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar), YBrs. Puan Wan Ramiza Wan Ghazali, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian), YBrs. Encik Hisham Rusli, Timbalan Ketua Eksekutif (Pengurusan) serta barisan pengurusan kanan HASiL. Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada HASiL melalui:" "Program Bicara Ilmu ke Arah Keterjaminan Makanan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani \u2013 \u00a0Sebanyak 200 orang peserta dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang telah menyertai Program Bicara Ilmu Keterjaminan Makanan: Sejauh Manakah Peranan Koperasi serta Majlis Penyerahan Pelan Strategik Koperasi 2023 anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) yang berlangsung di Cinta Sayang Resort, Sungai Petani, Kedah semalam.\nKetua Pengarah IKMa, YBhg. Datuk Mohd Ali Mansor berkata, apabila perkara-perkara seumpama isu keterjamianan makanan dibincangkan secara jujur dan ikhlas, hal tersebut bakal memberikan banyak kebaikan untuk pelaksanaan projek jangka panjang.\nDalam program tersebut, peserta mengikuti empat ceramah, termasuklah ceramah yang disampaikan oleh Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Pelaburan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Encik Khalid Ibrahim tentang Landskap Sektor Agromakanan Negara. Ceramah tentang Inisiatif \u00a0Agensi Sumber Galakan Koperasi pula disampaikan oleh Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Koperasi, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), iaitu Encik Mohd Rizam Zuligifliauni.\nBersempena dengan program ini juga, Majlis Penyerahan Pelan Strategik\nKoperasi yang melibatkan tiga buah koperasi di kawasan utara, iaitu Koperasi Komuniti Kilim Langkawi Berhad, Koperasi Kerjaya Permatang Nibong Pulau Pinang Berhad dan Koperasi Pembangunan Insan Wilayah Utara Berhad turut diadakan.\nTimbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Yang Berhormat (YB) Senator Puan K. Saraswathy ketika merasmikan program ini berkata, satu daripada aktiviti ekonomi yang boleh diteroka oleh koperasi adalah dalam bidang agromakanan.\n\u201cTerdapat 172 koperasi di negara ini terlibat secara langsung dalam sektor agromakanan yang meliputi penternakan, perikanan, tanaman dan pembekalan input pertanian sejak Disember 2022. Kejayaan bakal dinikmati oleh setiap koperasi yang terlibat secara langsung dan serius dalam bidang ternakan lembu tenusu, lembu pedaging, ayam, madu kelulut, ikan sangkar, tanaman padi, nanas, fertigasi, jagung bijian dan jagung manis dalam menyumbang kepada keterjaminan pengeluaran makanan di negara ini,\u201d katanya.\nMenurutnya, kementerian juga mewujudkan Federasi Koperasi Pertanian dan\nIndustri Asas Tani Malaysia Berhad bertujuan untuk menggembleng sumber modal, kepakaran, kemahiran dan tenaga profesional bagi melaksanakan aktiviti pada skala yang lebih besar serta menguasai aktiviti sepanjang rantaian bekalan. Beliau berharap agar program Penyerahan Pelan Strategik Koperasi tersebut dapat memberikan kefahaman baharu dan jelas tentang hala tuju dan fokus utama agenda keterjaminan makanan negara." "Tinjauan Perniagaan Malaysia Kekal Positif\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan bahawa tinjauan perniagaan Malaysia dilihat kekal positif dalam tempoh enam bulan akan datang dari April hingga September 2023 dengan imbangan bersih +14.9% daripada +12.1% yang dicatatkan sebelum ini.\nJabatan itu menyatakan bahawa sektor perkhidmatan menunjukkan sektor paling optimistik, mencatatkan imbangan bersih yang bertambah baik sebanyak +30.1% berbanding +28.0% bagi separuh pertama 2023, dengan semua subsektor perkhidmatan meramalkan keadaan perniagaan yang menggalakkan sepanjang enam bulan akan datang. Pada masa yang sama, sektor industri mencatatkan imbangan bersih yang lebih cerah dengan +15.6% dalam enam bulan akan datang berbanding +2.4% yang dicatatkan sebelum ini.\nSektor pembinaan menjangkakan situasi perniagaan yang kurang menggalakkan untuk enam bulan akan datang, berakhir September 2023 dengan imbangan bersih sebanyak -7.7% daripada +7.1% sebelumnya. Sentimen dalam sektor perdagangan borong dan runcit berubah pesimistik dengan imbangan bersih -4.7% berbanding +16.7% yang dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Jun 2023. Bagaimanapun, jabatan itu mengatakan bahawa sentimen perniagaan untuk jangka masa pendek bertukar pesimistik apabila petunjuk keyakinan menurun kepada -3.1% pada suku tahun kedua 2023 daripada +3.6% pada suku tahun sebelumnya.\nDOSM dalam laporan statistik kecenderungan perniagaan terbaharunya hari ini menyatakan bahawa jangkaan ini adalah selari dengan kelembapan ekonomi global yang berterusan termasuk tekanan inflasi. DOSM menyatakan tiga sektor iaitu sektor pembinaan, perdagangan borong dan runcit serta industri menjangkakan keadaan perniagaan yang mencabar pada suku tahun kedua 2023. Keyakinan perniagaan bagi sektor pembinaan kekal di trajektori negatif dengan petunjuk keyakinan mencatatkan -26.9% pada suku tahun rujukan, manakala sektor perdagangan borong dan runcit serta industri berubah pesimistik pada suku tahun yang sama.\nResponden dalam sektor perdagangan borong dan runcit menjangkakan prospek perniagaan yang kurang menggalakkan dengan petunjuk keyakinan sebanyak -10.2% pada suku tahun kedua 2023 berbanding +4.0% pada suku yang lepas, dengan kedua-dua subsektor mencatatkan persepsi yang tidak menggalakkan.\nSektor industri juga meramalkan keadaan perniagaan yang kurang menggalakkan pada suku tahun kedua 2023 apabila petunjuk keyakinan merekodkan -2.1% daripada +1.1% sebelumnya. DOSM juga menyatakan sektor perkhidmatan terus optimistik terhadap prestasi perniagaan dengan petunjuk keyakinan +3.9% pada suku tahun yang sama berbanding +11.4% pada suku tahun pertama 2023." "MoU antara Syarikat Malaysia dengan China Dinilai Telus dan Komprehensif\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Semua memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara syarikat Malaysia dengan China baru-baru ini akan dinilai secara telus dan komprehensif oleh Jawatankuasa Penilaian MoU yang dianggotai oleh beberapa kementerian serta agensi berkaitan pelaburan.\nMenteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan bahawa kementerian yang terlibat, iaitu Kementerian Kewangan (MoF) akan mengesahkan syarikat tersebut tidak disenarai hitam di bawah MoF, manakala Kementerian Luar akan meneliti implikasi MoU terhadap dasar luar negara Malaysia. Beliau menyatakan bahawa MITI pula akan menganalisa kekuatan kewangan syarikat tempatan yang terlibat dengan MoU.\nMenurutnya, agensi berkaitan pelaburan seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan mengambil kira impak atau faedah yang akan diperoleh melalui MoU terhadap aspek perdagangan negara. \u201cDalam proses penilaian MoU, terdapat beberapa MoU telah ditolak oleh Jawatankuasa Penilaian MoU disebabkan tidak memenuhi kriteria MoU dan tidak membawa faedah ekonomi yang signifikan kepada negara.\u201c" "Media Sosial Menghakis Akauntabiliti Bahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2013 Masyarakat dunia pada hari ini berdepan dengan cabaran di media sosial khasnya kepada kanak-kanak. Hal ini telah mempengaruhi tindakan dan pemikiran serta memberikan impak besar kepada masyarakat terutamanya kanak-kanak. Kanak-kanak kini terdedah pada penggunaan gajet dan mereka turut memiliki akaun media sosial masing-masing. Namun begitu, tanpa disedari hal tersebut juga mengundang pelbagai risiko yang boleh menjejaskan kehidupan kanak-kanak.\nKebimbangan tersebut berasas dan dihuraikan oleh Prof. Dr. Amer Siddiq Amer Nordin, Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Universiti Malaya pada pagi tadi yang bersiaran melalui slot Koresponden BERNAMA TV, yang bertajuk \u201cInternet dan Media Sosial: Risiko Keselamatan terhadap Kanak-kanak\u201d yang dikendalikan oleh penyampai, Nurul Hidayah Umol. Berdasarkan beberapa perkara, pencipta akaun media sosial telah menetapkan usia 18 tahun sebagai syarat pendaftaran untuk mempunyai akaun media sosial.\nBerdasarkan kajian beliau, terdapat kesukaran untuk mengawal dan mengehadkan tempoh masa bagi kanak-kanak melayari internet. Sekiranya ibu bapa mengambil ringan akan perkara ini, anak mereka akan berdepan dengan risiko hilang tumpuan dan ketagihan gajet. Antara kesan buruk yang akan dihadapi oleh kanak-kanak termasuklah amalan buli siber, intai siber dan gangguan seksual terhadap kanak-kanak. Tambah buruk lagi, mereka juga berdepan dengan kandungan internet dan media sosial yang tidak sepatutnya.\nKesan tersebut boleh dialami oleh kanak-kanak dan pastinya akan menjejaskan atau mempengaruhi psikologi kanak-kanak. Oleh itu, ibu bapa perlu menyedari akan hal ini, iaitu akaun media sosial yang dimiliki tidak boleh dikongsi kepada sesiapa dan mereka tidak boleh membuat pemantauan terhadap penggunaan media sosial anak-anak.\nSecara kebiasaannya individu yang berada di media sosial tidak sama sifatnya ketika berada di luar media sosial. Keadaan ini dinamakan sebagai \u201cketanpanamaan\u201d (anonymity) dan pengguna akaun media sosial sedemikian akan berada di luar batas normal dan bahasa yang digunakan tidak mempunyai akauntabiliti. Selain itu, penggunaan bahasa yang kesat dan kasar berlaku tanpa dapat dikawal serta telah diterima oleh masyarakat dan\u00a0keadaan ini sudah tentu memberikan kesan buruk kepada kanak-kanak.\nTambah beliau, isu yang menjadi perhatian banyak pihak yang berkaitan dengan internet dan media sosial ialah hilangnya adab dan moral para pengguna akaun serta kebimbangan terhadap kesan budaya ini kepada kanak-kanak menjadi lebih buruk. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga memberikan amaran kepada masyarakat dunia betapa perlunya peranan orang dewasa dalam mengehadkan penggunaan masa kanak-kanak di internet dan media sosial termasuklah pada waktu malam.\nMasyarakat juga perlu memahami tentang aspek keselamatan internet dan media sosial, risiko kesihatan dan juga isu hilang tumpuan yang boleh berlaku kepada kanak-kanak. Oleh itu, ibu bapa perlulah bertanggungjawab dalam memastikan anak mereka diberikan panduan dan bimbingan dari segi penggunaan media. Tegas beliau lagi, pentingnya kesedaran ibu bapa terhadap pendidikan internet dan media sosial kepada kanak-kanak agar kesan buruk daripada kecanggihan teknologi ini dapat dibendung." "Produk Halal Dutch Lady Mampu Milik Walaupun Kos Bahan Mentah Meningkat \u2013 Dutch Lady\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0 Dutch Lady Malaysia Industries Bhd. (DLMI) menjelaskan bahawa\u00a0 produk halal syarikat itu akan mengekalkan harga mereka dan memastikan produk mereka mudah diperoleh walaupun mengalami pergerakan harga yang tidak menentu dan trend rantaian bekalan dengan kos bahan keseluruhan bahan mentah meningkat sehingga 15% tahun lepas.\nPengarah urusannya, Ramjeet Kaur menyatakan bahawa ketika dunia mengalami pemulihan ekonomi, kestabilan pasaran terjejas dan syarikat itu juga turut menangani cabaran kesan daripada gangguan dan ketidaktentuan dalam logistik dan rantaian bekalan.\n\u201cTekanan tersebut berjaya diimbangi oleh DLMI dan hal ini bermakna produk halal tersebut masih kekal mampu milik serta mudah diperoleh oleh pelanggan setia kami,\u201d katanya\u00a0 dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-60 DLMI.\nPengarah urusan syarikat itu juga berkata DLMI akan terus mengoptimumkan kos dan aliran tunai syarikat bagi menangani cabaran inflasi yang berlarutan\u00a0 berikutan pihak pengurusan meneruskan langkah untuk mendapatkan pembiayaan ke arah mempertingkatkan kemudahan pembuatan baharunya yang bertaraf dunia pada masa hadapan.\nTambahnya lagi, syarikat itu juga optimis untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang\u00a0 dan bersedia memberikan perkhidmatan terbaik kepada generasi Malaysia yang selanjutnya. Selain itu, syarikat juga ingin mengukuhkan daya tarikan berbilang generasi kepada rakyat tanpa mengira usia yang telah beroperasi sejak tahun 1963. Bagi mengurangkan import susu segar, kerajaan Malaysia telah menyasarkan tahap sara diri pengeluaran susu segar sebanyak 100 peratus menjelang\u00a0 tahun 2025 kepada DLMI dan syarikat itu juga akan menjalinkan kerjasama erat dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi melatih penternak tenusu tempatan untuk meningkatkan jumlah dan kualiti susu segar.\nSumber gambar: Dutch Lady Malaysia" "Malaysia Cadang Wujudkan Wilayah Ekonomi Serantau Johor-Singapura\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIskandar Puteri \u2013 Malaysia bercadang untuk mewujudkan wilayah ekonomi serantau antara Johor dengan Singapura dalam usaha mengukuhkan ekonomi negeri tersebut.\nMenteri Ekonomi, Yang Berhormat (YB) Rafizi Ramli berkata, ketiga-tiga pihak, iaitu kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan kerajaan Singapura telah membuat pertemuan secara berkala bagi membincangkan cadangan tersebut, namun ianya belum diangkat sebagai cadangan rasmi.\n\u201cSaya fikir, kita bersedia untuk melihat bagaimana Singapura berpandangan bahawa Johor sebagai sebahagian daripada zon ekonomi kerana kita juga mempunyai idea dan cadangan tentang cara kita melihat Singapura sebagai sebahagian zon ekonomi kita,\u201d katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di Majlis Bandaraya Iskandar\u00a0 Puteri, hari ini.\nBeliau juga berkata, hal tersebut merupakan masa yang sesuai untuk membawa idea serta memulakan perbincangan tersebut\u00a0 ke peringkat yang lebih formal. Tambah beliau lagi, cadangan tersebut akan dikemukakan dalam mesyuarat kabinet terlebih dahulu sebelum dibawa ke mesyuarat tahunan jawatankuasa bersama peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) yang dijangka akan berlangsung pada pertengahan Julai ini.\nRafizi dalam ucapannya semasa sesi dialog libat urus berkata,Johor akan terus menjadi antara pemacu ekonomi negara terbesar pada masa hadapan susulan potensi dan kedudukan strategiknya di rantau ini.\nNegara ini akan memberi fokus pada sektor peralihan tenaga dan Johor merupakan satu daripada negeri yang berpotensi untuk menjadi penerima manfaat terbesar terutamanya dengan kedudukannya bersebelahan dengan Singapura. Hal ini\u00a0 turut disokong dengan keputusan kerajaan yang kini membenarkan aktiviti pengeksportan tenaga diperbaharui.\nBeliau juga berkata bahawa Johor akan menjadi satu daripada negeri yang paling berpotensi untuk mendapat laba daripada projek aktiviti peralihan tenaga melibatkan tenaga boleh baharu. Selain itu, Pengerang juga akan menjadi perintis kepada tenaga ammonia dan hidrogen dan bukan hanya pusat kima dan petrokimia semata-mata." "PERNAS Komited Laksana Inisiatif Pacu Usahawan Francais Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPenampang \u2013 Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan terus komited melaksanakan inisiatif yang telah digariskan untuk memacu kemajuan dan kejayaan usahawan francais negara.\nMenteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, usaha itu adalah bertepatan dengan ikhtiar Bitara MADANI yang akan memfokuskan kepada pembangunan keusahawanan yang memerlukan jangka masa Panjang dalam merealisasikan kejayaan.\nBeliau juga berkata komitmen agensi\u00a0 tersebut dapat dilihat menerusi peruntukkan RM50 juta khusus untuk Skim Pembiayaan Francais dan Pra Francais pada tahun ini bagi pembangunan perniagaan francais selaras dengan nilai kesejahteraan MADANI untuk usahawan.\nTambahan beliau lagi, PERNAS berperanan dalam membangunkan usahawan francais dan seterusnya turut mendukung misi kementerian untuk menyediakan khidmat sokongan, platform, bantuan serta pembangunan kapasiti keusahawanan.\nPERNAS bukan sahaja melahirkan ramai usahawan francais, tetapi agensi itu juga turut membangunkan banyak\u00a0 jenama-jenama francais tempatan di peringkat domestik dan antarabangsa.\n\u201cPERNAS turut menyediakan ekosistem keusahawanan kondusif dengan menawarkan produk serta perkhidmatan bersesuaian kepada para usahawan tempatan yang merangkumi keperluan kepada francaisor, francaisi dan para-francaisor yang antara lain melibatkan skim pembiayaan dan pengurusan hartanah,\u201d katanya ketika berucap pada majlis perasmian penjenamaan semula jenama francais Mok Corner.\nSebanyak RM428 juta telah disalurkan kepada 2,162 usahawan untuk pembangunan industri francais negara sejak 2004. Agensi\u00a0 itu juga telah meluluskan\u00a0 pembiayaan kepada 66 syarikat di Sabah dengan jumlah RM 14667 149 juta sejak tahun 2009 sebagai usaha untuk membantu usahawan francais tempatan di negeri itu berkembang lebih jauh.\nSelain Mok Corner yang kini telah mempunyai 39 cawangan di seluruh negeri, jenama tempatan yang lain juga turut merancakkan industri francais di sabah termasuk Kak Nong, Al Hadanah, Sinar Suria, Nuvis, Fook Yuen dan Daily Electronic Centre.\nPengerusi PERNAS Datuk Hazimah Zainuddin dalam ucapannya menjelaskan bahawa pihaknya sentiasa komited membantu seterusnya menyokong mana-mana syarikat atau usahawan untuk melangkah ke hadapan bagi membangunkan jenama serta perniagaan masing-masing." "Industri Buku Negara Semakin Berkembang Maju\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Industri buku negara merupakan industri penting untuk membina ketamadunan bangsa dan negara. Antara objektif penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) adalah untuk memupuk dan menyuburkan minat membaca khususnya dalam kalangan generasi muda. Satu daripada aktiviti yang dianjurkan bersempena dengan PBAKL ialah forum The One Talk 2.0: An Introduction To The Malaysian Book Industry.\nForum itu menampilkan empat orang ahli panel, iaitu Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Tuan Mohd Khair Ngadiron, Ketua Pengawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Puan Adibah Omar, Ketua Jabatan Penerbitan dan Jualan Buku Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Tuan Ahmad Shuaimi Yunos,\u00a0 dan Ketua Editor Bahagian Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Rosmani Omar. Moderator bagi forum tersebut ialah Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Tuan Sheikh Faisal Sheikh Mansor,\u00a0 dan dihoskan oleh Pengerusi Majlis Industri Buku Malaysia (MBIC), Tuan Keith Chong.\nDalam forum tersebut, Tuan Mohd Khair Ngadiron menyatakan bahawa Majlis Buku Kebangsaan Malaysia ditubuhkan pada tahun 1968 dan kini menjadi satu bahagian khusus di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang berfungsi sebagai sekretariat. Kemudian, bahagian ini dinamakan semula sebagai Urusetia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia. Fungsi Majlis Buku Kebangsaan Malaysia adalah untuk menganjurkan program dan aktiviti berkaitan dengan kegiatan membaca di negara.\nPuan Adibah Omar pula menerangkan bahawa Perbadanan Kota Buku merupakan agensi yang berperanan sebagai nukleus perbukuan dan kemudiannya menjadi hab kepada pemain industri perbukuan untuk berdaya saing dan terus menghasilkan bahan bacaan bermutu seiring aspirasi KPM. Perbadanan Kota Buku juga membangunkan sistem perbukuan digital dan boleh diakses oleh masyarakat. Beliau juga menyatakan bahawa Perbadanan Kota Buku menyediakan platform kepada masyarakat untuk membeli bahan bacaan secara dalam talian.\nTuan Ahmad Shuaimi Yunos pula menjelaskan peranan dan fungsi yang dimainkan oleh ITBM adalah untuk menggalakkan penyuburan minat membaca dalam kalangan masyarakat, manakala Dr. Rosmani Omar pula menyatakan pendirian bahawa DBP sentiasa komited untuk menghasilkan bahan bacaan yang bermutu tinggi bagi tujuan pembacaan masyarakat. Beliau juga menambah bahawa masyarakat kini boleh mendapatkan bahan bacaan DBP melalui portal JendelaDBP." "Libat Urus Pelaksanaan EUDR Misi Bersama Malaysia-Indonesia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kerajaan Malaysia dan Indonesia akan mengadakan pertemuan serta sesi libat urus bersama dengan barisan kepimpinan tertinggi Kesatuan Eropah (EU) tentang pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) semasa misi bersama di bawah Majlis Negara-Negara Pengeluar Sawit (CPOPC).\nMisi bersama ke ibu pejabat EU di Brussels, Belgium bermula dari 28 Mei sehingga 4 Jun 2023 yang telah diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama-sama dengan Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia, Dr. Airlangga Hartato.\nKPK dalam satu kenyataannya pada 27 Mei 2023 berkata misi tersebut merupakan tindak balas susulan pengumuman pelaksanaan EUDR dan EU pada 6 Disember 2022 yang bertujuan untuk menghalang penebangan hutan oleh aktiviti pertanian di seluruh dunia.\nSesi libat urus dan pertemuan melibatkan kedua-dua menteri itu akan diadakan dengan anggota CPOPC yang lain mengenai pelaksanaan EUDR yang bukan sahaja menindas sektor agrikomoditi secara amnya dan industri sawit secara khusus malah hal tersebut juga menjejaskan mata pencarian jutaan pekebun kecil.\nTambah kementerian itu, EUDR dianggap sebagai suatu kawalan bukan tarif yang boleh memberi kesan negatif terhadap perdagangan bebas dan adil, khususnya apabila hal tersebut lebih disasarkan kepada agrikomoditi tropika dari negara yang membangun serta boleh menjejaskan rantaian bekalan global.\nMalaysia merupakan satu daripada negara anggota CPOCP yang terlibat secara aktif dalam platform bersama ini di peringkat global untuk meneruskan agenda bagi memerangi kempen negatif pihak barat ke atas minyak sawit. Sesi libat urus\u00a0 dengan EU adalah untuk mencapai hasil yang akan\u00a0 memberi manfaat kepada kedua-dua negara pengeluar dan pengguna sawit .\nSelain itu, Malaysia dan Indonesia juga bersetuju untuk memulakan misi bersama tersebut dalam satu pertemuan di Jakarta, Indonesia\u00a0 pada 9 Februari lalu apabila kedua-dua menteri tersebut mencapai persetujuan untuk terus menjaga kepentingan sektor sawit menerusi pengukuhan usaha dan menangani diskriminasi terhadap minyak sawit.\nSelanjutnya, KPK menjelaskan bahawa United Kingdom (UK) merupakan rakan dagangan ke-23 paling penting kepada Malaysia dan ketika ini UK masih dalam proses rundingan untuk menjadi perjanjian komprehensif progresif bagi perkongsian trans-pasifik\u00a0 (CPTPP).\nSektor agrikomoditi merupakan antara sektor yang penting bagi Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dagangan dengan UK melalui jawatankuasa bersama bagi Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan Dua Hala Antara Malaysia dan United Kingdom (MUKJC) dan Dialog Perdagangan Hutan, Pertanian dan Komoditi (FACT).\nDialog FACT ialah platform dialog antara negara\u00a0 pengeluar dan negara pengguna untuk menjadikan perdagangan agrikomoditi global lebih mampan. Fadillah juga telah mengadakan pertemuan dengan beberapa Menteri berkaitan dengan sektor agrikomoditi di UK dan Menteri-menteri lain sewaktu lawatan rasmi beliau di London.\nBeliau juga telah menyampaikan ucap tama dalam Forum Minyak Sawit Mampan Antarabangsa (ISPOF) anjuran KSI Strategic Institute For Asia Pacific (KSI) dan Malaysia -link UK dan lawatan kerja ke Tun Abdul Razak Research Centre (TARCC), yang merupakan satu daripada pusat penyelidikan dan pembangunan getah utama dunia.\nKPK\u00a0 berharap agar kedua-dua misi ini mencapai hasrat negara untuk menyampaikan maklumat yang tepat secara langsung kepada pihak berkepentingan dengan tujuan untuk menangkis persepsi negatif dan sebarang usaha untuk memberi tekanan terhadap sektor agrikomoditi dan perhutanan di Malaysia.\nSumber gambar:\u00a0 Facebook YB Fadillah Yusof" "AmBank Group Akan Terus Tumpu Kepada Segmen PKS dan Runcit Pada Tahun 2024\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) akan terus memfokuskan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan segmen runcit sebagai enjin pertumbuhan terutamanya bagi Tahun Kewangan 2024.\nKetua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Sulaiman Mohd Tahor berkata, kumpulan tersebut juga mahu menumpukan\u00a0 kepada pengumpulan deposit serta ingin membuka peluang untuk berkembang kepada PKS.\nWalau bagaimanapun, perkara lain juga turut diperkukuhkan untuk menumpukan pengumpulan deposit, untuk melihat bagaimana untuk mengimbangkan pertumbuhan bersama-sama dengan pertumbuhan deposit.\nDatuk Sulaiman Mohd Tahir berkata AMMB merekodkan pertumbuhan 6.0 peratus dalam deposit pelanggan bagi tahun kewangan 2023 dengan nisbah akaun simpanan (CASA) yang mencecah 37.4 peratus\u00a0 yang mana merupakan tertinggi dalam industri.\nTambahan beliau , AmBank Group menjangkakan pertumbuhan pinjaman 6.0 peratus bagi Tahun Kewangan 2024 di tengah-tengah kesan asas tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.\nHal ini sejajar dengan pengembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang perlahan dan unjuran pertumbuhan ekonomi ialah pada 4.0 hingga 5.0 peratus tahun ini berbanding 8.7 peratus tahun lepas.\nAmBank Group terus optimis dengan pertumbuhannya bagi tahun kewangan 2024 meskipun terdapat potensi\u00a0 cabaran luar seperti volatiliti dalam \u00a0trajektori pertumbuhan global dan peningkatan ketegangan geopolitik, AmBank Group terus optimis dengan pertumbuhannya bagi tahun kewangan 2024.\n\u201cKetika kami menghampiri kemuncak strategi fokus 8 kami, saya berbesar hati untuk menyatakan bahawa kami telah mencapai kemajuan yang ketara dari segi mengukuhkan pulangan ke atas ekuiti (ROE), mempertajam strategi segmen sasaran kali, meningkatkan pendapatan modal ringan dan menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam operasi kami,\u201d-katanya.\nMatlamat Ambank Group adalah untuk terus memaksimumkan nilai kepada pemegang kepentingan dan pemegang saham pada masa hadapan.\nKetua pegawai eksekutif kumpulan itu berkata Ambank Group \u00a0adalah untuk merancang melakukannya menerusi penyampaian keputusan\u00a0 kewangan yang kukuh, terus mengukuhkan rizab modal, penilaian berterusan aset bukan teras dan pengurusan berhemat kos.\nMata wang tempatan iaitu ringgit dijangka mengakhiri 2023 dalam jajaran 4.20-4.30 berbanding dolar AS memandangkan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) dilihat berakhir pada Jun depan.\nMenurutnya lagi, pengakhiran kenaikan kadar faedah AS akan membawa kepada permintaan terhadap mata wang pasaran yang sedang pesat membangun dan melonjakkan penilaian ringgit lebih tinggi.\n\u201cKami merasakan kenaikan kadar faedah AS akan berakhir pada Jun 2023 dan ekonomi Malaysia juga akan mencatatkan prestasi yang lebih baik berbanding AS pada separuh ke dua 2023, yang mana akan menyokong penilaian ringgit Malaysia,\u201d-jelasnya." "Kuala Lumpur Bakal Dijadikan Hab Syarikat Pemula dan Industri Digital Serantau\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kerajaan merancang akan menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab syarikat pemula dan industri digital serantau dalam usaha untuk melonjakkan aktiviti ekonomi digital negara.\nMenteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, ekonomi digital merupakan salah satu daripada tiga sektor yang strategik bernilai tinggi yang mampu merancakkan pelaburan dan menawarkan pekerjaan yang bergaji tinggi kepada rakyat yang diberi tumpuan oleh kementerian dalam penstrukturan semula ekonomi negara.\nSelain melonjakkan industri sedia seperti semikonduktor, perkilangan, minyak dan gas, komoditi ke peringkat rantaian nilai yang bernilai tinggi dengan fokus kepada proses penghiliran nilai tinggi \u00a0dan terdapat tiga sektor strategik yang \u00a0akan diberikan tumpuan oleh Kementerian Ekonomi iaitu peralihan tenaga ke arah tenaga boleh baharu, ekonomi digital dan keterjaminan makanan.\nKementerian ini juga kini sedang bekerjasama dengan kementerian lain yang terlibat di dalam ekosistem ekonomi digital iaitu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian dan Digital; dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk merancakkan lagi ekonomi digital di Malaysia.\nBeliau juga menjelaskan bahawa kerjasama tersebut perlu untuk menyelaraskan sistem sokongan awam yang dilaksanakan melalui pelbagai agensi ke arah pendekatan bersepadu untuk menambahbaik ekosistem digital yang lebih berkesan.\nIni akan meningkatkan jumlah dan prestasi syarikat pemula serta mempercepatkan peralihan sektor swasta kepada ekonomi digital, tambah beliau.\nTujuan kerjasama dengan kementerian yang lain adalah untuk memulakan pembangunan konsep dan penyelarasan fungsi di antara agensi-agensi kerajaan ke arah pelaksanaan kerajaan digital yang menghasilkan produk-produk perkhidmatan awam yang berasaskan data dan digital secara bersepadu.\nSatu langkah utama untuk mencapai kedua-dua sasaran ini ialah meningkatkan daya tarikan kuala lumpur sebagai pusat syarikat pemula dan industri digital serantau untuk menarik pelaburan dan bakat digital ke nagara ini.\n\u201cPerubahan agresif diperlukan untuk mencakupi pelbagai bidang termasuklah penyatuan agensi-agensi kerajaan, proses visa pekerjaan yang lebih cekap dan terbuka, insentif digital yang menarik dan penghasilan tenaga kerja dalam industri digital pada skala nasional, \u201dkatanya.\nMenteri ekonomi itu juga turut berbincang dengan Jack Selby yang merupakan kakitangan terawal PayPal bersama-sama kumpulan pengasas syarikat seperti Elon Musk, Peter Thiel dan Reid hoffman semasa menghadiri forum ekonomi Qatar baru-baru ini.\nJelasnya lagi,\u00a0 kumpulan pengasas PayPal menjadi tenaga utama yang megggerakkan industry digital dari Sillicon Valley melalui penglibatan mereka di dalam syarikat-syarikat digital terkenal seperti Tesla, SpaceX,Youtube, Facebook,LinkedIn dan Open AI.\nBeliau juga menyatakan bahawa Selby kini merupakan Pengarah Urusan Thiel Capital dan pencetus Arizona technology innovation summit turut melahirkan minat untuk membantu membangunkan Kuala Lumpur sebagai pusat \u00a0syarikat pemula dan industri digital serantau.\n\u201cKepakaran beliau akan membantu Malaysia untuk merangka dasar yang lebih mesra syarikat pemula dan mewujudkan jaringan Kerjasama dalam bidang digital yang akan melonjakkan nama Kuala Lumpur sebagai destinasi utama industri digital di rantau ini, \u201dkatanya.\nMenteri ekonomi itu juga turut menyatakan bahawa dasar dan inisiatif khusus akan di umum secara berperingkat dalam menzahirkan Hasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai daya tarikan syarikat pemula serantau." "Indeks Harga Pengeluar Malaysia Turun -3.0 Peratus\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia merosot kepada -3.0% pada April 2023 daripada -2.9% pada Mac 2023. Penguncupan IHPR bagi April disebabkan oleh penurunan dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan serta perlombongan. DOSM juga melaporkan bahawa sektor pertanian, perhutanan dan perikanan terus menunjukkan trend negatif selama 10 bulan berturut-turut, merekodkan -26.0% berbanding -28.7% pada Mac.\nSementara itu, sektor perlombongan turut mencatatkan penurunan -4.7% pada April 2023 berbanding -11.5% pada bulan sebelumnya, kesan kejatuhan indeks pengekstrakan petroleum mentah -12.5%. Pada asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan mencatatkan peningkatan marginal 0.2% pada April 2023 berbanding 0.3% pada bulan sebelumnya. Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 0.8% disebabkan oleh peningkatan dalam indeks penanaman tanaman kekal (1.1%), manakala sektor perlombongan mencatatkan peningkatan 0.5% seiring dengan peningkatan indeks pengekstrakan petroleum mentah (1.5%).\nSektor pembuatan pula mencatatkan peningkatan perlahan 0.1% disebabkan oleh indeks pembuatan produk makanan (0.9%) dan pembuatan kimia dan produk kimia (0.7%). Sementara itu, sektor bekalan elektrik dan gas turun kepada -0.6% berbanding 0.5% yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, manakala sektor bekalan air kekal tidak berubah.\nDOSM turut menjelaskan bahawa ketidaktentuan harga terutamanya dalam tenaga dan produk makanan memberi kesan kepada indeks harga pengeluar di kebanyakan negara. IHPR Amerika Syarikat meningkat 2.3% selepas peningkatan 2.7% pada Mac 2023 yang boleh dilihat pada permintaan makanan akhir terutamanya dalam indeks buah-buahan segar dan tembikai serta telur untuk kegunaan segar. Walau bagaimanapun, inflasi pengeluar India turun -0.9% (Mac 2023: 1.3%) pertama kali sejak Julai 2020, manakala harga pengeluar China pula turun -3.6% berbanding -2.5% pada bulan sebelumnya." "Imedikel Pharma Holding Berhad Jalin Kerjasama Erat dengan DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Majalah menjalinkan kerjasama dengan Imedikel Pharma Holding Berhad yang beribu pejabat di Kota Bharu, Kelantan.\nImedikel yang mulai bekerjasama dengan DBP Wilayah Timur dalam program pemartabatan bahasa kebangsaan pada tahun ini telah membuktikan komitmen mereka dalam pelibatan setiap aktiviti yang dianjurkan oleh DBP Wilayah Timur. Komitmen yang ditunjukkan memberikan keyakinan yang tinggi untuk melanjutkan kerjasama dengan DBP ibu pejabat.\nMenurut Presiden Imedikel, Tuan Haji Yusmat Mamat, Imedikel yang merupakan syarikat yang telah bertapak sejak tahun 1993 berpengalaman luas dalam bidang farmasi, penghasilan produk kesihatan berasaskan herba, makanan kesihatan tambahan dan pembekalan perkakasan kesihatan di bawah satu bumbung. Syarikat yang memiliki rangkaian farmasi di pantai timur ini juga terlibat dalam proses pengilangan produk tersendiri untuk pasaran dalam dan luar negara.\nDengan matlamat untuk melebarkan sayap farmasi dan produknya ke seluruh Malaysia, Imedikel berbesar hati dengan jalinan kerjasama erat yang terjalin antara DBP dengan Imedikel Pharma Holding Berhad dan berharap agar dapat memberikan sumbangan dalam pelbagai aspek demi mengangkat martabat usahawan bumiputera di negara ini.\nTerbaharu, Imedikel terlibat secara langsung dalam program Cuit Bahasa menerusi slot Kayanya Bahasa Kita di stesen Radio Malaysia Kelantan.fm pada setiap hari Khamis, pukul 5.30 petang." "Kerajaan Komited Permudahkan Aktiviti Perniagaan dan Sokong Pelaburan Domestik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan komited untuk meningkatkan dan mempermudahkan lagi aktiviti perniagaan dalam negara dan menyokong pelaburan langsung domestik.\nTambahan beliau lagi, kabinet juga akan fokus untuk mempercepatkan pelaksanaan projek kerajaan dan memudahkan kelulusan aktiviti perniagaan antaranya termasuklah permohonan berkenaan ekspatriat yang berkemahiran dalam usaha untuk menggalakkan pertumbuhan domestik.\nKerajaan telah mengambil pelbagai cara untuk memangkin dan menarik pelaburan berkualiti tinggi yang akan menghasilkan hubungan dengan para usahawan tempatan dan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.\nIni termasuk langkah belanjawan 2023 untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana(PKS) khususnya dengan menyediakan pelbagai kemudahan pembiayaan dan jaminan bernilai RM40 bilion, \u201dkatanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kementerian kewangan hari ini.\nPerdana Menteri telah mengadakan sesi dialog dengan pemimpin perniagaan, badan pengawal selia dan ahli ekonomi berhubung langkah-langkah untuk memperkukuh lagi pertumbuhan ekonomi dan merangsang pelaburan domestik hari ini.\nSesi dialog ini disertai oleh dewan perniagaan seperti Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) dan bank-bank.\nDatuk Seri Anwar Ibrahim berkata pada pertemuan itu, petunjuk awal indikator ekonomi memperlihatkan dasar fisikal kerajaan dan Langkah belanjawan 2023 telah menunjukkan hasil meskipun menghadapi pelbagai cabaran.\nMalaysia mencapai pertumbuhan suku pertama (S1) 2023 yang memberangsangkan sebanyak 5.6 peratus berbanding unjuran 2023 sebanyak 4 peratus hingga 5 peratus dan mengurangkan kadar pengangguran kepada 3.5 peratus berbanding 5.2 peratus pada Mei 202. Sementara itu, jumlah pelaburan yang diluluskan pada S1 2023 mencecah RM71 bilion, meningkat sebanyak 60 peratus daripada RM45 bilion pada S1 2022.\nBeliau juga menjelaskan bahawa pelaburan tersebut disokong oleh minat pelaburan yang tinggi antaranya daripada Amazon Web Services,Tesla, EV,Geely /Proton Automotive City Di Tanjong Malim dan Rohenseng Petrochemicals Di Pengerang.\n\u201cPengesahan penarafan kredit oleh Fitch dan Moody\u2019s masing-masing pada Februari 2023 dan April 2023 mencerminkan keyakinan mereka terhadap iltizam kerajaan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi walaupun di tengah-tengah situasi global yang mencabar sangat mencabar, \u201dkatanya.\nPada pertemuan yang sama juga, beliau turut menekankan bahawa kerajaan amat komited untuk memacu pertumbuhan yang inklusif dan mampan, memulihkan keyakinan terhadap institusi awam dan tata kelola serta menegakkan keadilan\u00a0 sosial untuk semua rakyat selaras dengan visi Malaysia MADANI.\nBeliau juga turut menjelaskan bahawa dasar dan keutamaan ekonomi di bawah kerajaan perpaduan akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam pelan induk perindustrian (Ogos 202), kajian separuh penggal rancangan Malaysia KE-12(September 2023) dan belanjawan (Oktober 2023).\nSelain itu, kumpulan perniagaan\u00a0 turut dipelawa untuk mengemukakan input dan cadangan berhubung rancangan ekonomi yang bakal dibentangkan itu.\nTambahnya, orang ramai juga boleh berkongsi cadangan berhubung Langkah-langkah bagi mengembangkan lagi ekonomi negara melalui segmen \u201cSuarakan pendapat anda\u201d di laman web rasmi kementerian kewangan www.mof.gov.my." "Antara Kata Penekan, Penegas dan Pembenda\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata penekan merupakan subgolongan kata tugas (kata pascakata) dalam bahasa Melayu. Kata tersebut ditandai oleh kehadiran morfem terikat atau unsur partikel -nya. Kata penekan tidak dapat berdiri sendiri dalam ayat.\nPada umumnya, kehadiran kata penekan dalam ayat amat jelas. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a.\u00a0 Bangunan itu tinggi.\n1b.\u00a0 Tingginya bangunan itu!\n1c.\u00a0 Wah, tingginya bangunan itu!\n\u00a0\n2a.\u00a0 Bunga ini cantik.\n2b.\u00a0 Cantiknya bunga ini!\n2c.\u00a0 Amboi, cantiknya bunga ini!\nKehadiran kata penekan -nya dalam ayat 1b, 1c, 2b dan 2c tidak mengubah maksud ayat. Perbezaan yang wujud hanyalah penekanan pada ketinggian bangunan atau kecantikan bunga yang berkenaan. Dalam hal ini, kehadiran tanda seru dan kata seru dalam ayat 1c dan 2c menekankan keluarbiasaan, keajaiban atau keunikan sesuatu perkara ke tahap yang tinggi lagi.\nJika kita meneliti ayat 1b, 1c, 2b dan 2c, kita akan mendapati bahawa kata penekan ditambah pada kata adjektif untuk menekankan sifat adjektif yang menjadi predikat ayat yang berkenaan. Dalam hal ini, susunan ayat perlu disongsangkan.\nKata penekan berbeza daripada sesetengah kata penegas bukan partikel yang sedia mendukung maksud kesangatan, keterbatasan dan keterlibatan. Selain itu, kata penegas memberikan penegasan kepada kata nama (KN), kata kerja (KK), kata adjektif (KA) dan frasa sendi nama (FS). Kata penegas tersebut merupakan bentuk bebas yang dapat berdiri sendiri dalam ayat. Ayat yang ada unsur penegasan pula tidak semestinya disongsangkan susunan komponennya. Sila lihat contoh yang berikut:\nMaksud Kesangatan\n3a.\u00a0 Bangunan itu memang perpustakaan. (KN)\n3b.\u00a0 Dia memang belajar. (KK)\n3b.\u00a0 Bangunan itu sememangnya tinggi. (KA)\n3c.\u00a0 Bahawasanya bangunan itu tinggi. (KA)\n3c.\u00a0 Dia sesungguhnya ke Seremban. (FS)\nMaksud keterbatasan\n4a.\u00a0 Bilik ini sahaja bilik guru. (FN)\n4b.\u00a0 Dia hanya membuang masa. (KK)\n4c.\u00a0 Dia hanya rindu akan anaknya. (KA)\n4c.\u00a0 Dia ke Taiping semata-mata. (FS)\nMaksud Keterlibatan\n5a.\u00a0 Dia pun guru. (KN)\n5b.\u00a0 Peserta itu menang lagi. (KK)\n5c\u00a0\u00a0 Dia cantik jua dahulu. (KA)\n5e.\u00a0 Dia ke sana juga. (FS)\nSelain kata pengas yang berbentuk kata penuh, ada juga kata penegas yang berbentuk partikel, iaitu -lah, -kah dan -tah. Partikel penegas tersebut tidak dapat berdiri sendiri dalam ayat. Selain itu, kata penegas itu mesti ditambah pada bahagian predikat ayat yang dikedepankan. Sila lihat contoh yang berikut:\n6a.\u00a0 Yang menolong saya dia.\n6b.\u00a0 Dialah yang menolong saya.\n7a.\u00a0 Orang itu siapa?\n7b.\u00a0 Siapakah orang itu?\n8a.\u00a0 Daya kita apa?\n8b.\u00a0 Apatah daya kita?\nKata pembenda ialah kata (partikel) yang ditambah pada kata kerja atau kata adjektif, iaitu kata yang bukan kata nama, untuk menjadikannya kata nama. Partikel pembenda juga berbentuk seperti partikel penekan, iaitu ditandai oleh partikel -nya. Sila lihat contoh yang berikut:\n9a.\u00a0 Jatuhnya kerajaan itu amat dikesali.\n9b.\u00a0 Kejatuhan kerajaan itu amat dikesali.\n10a.\u00a0 Kalahnya pasukan itu sudah dijangkakan.\n10b.\u00a0 Kekalahan pasukan itu sudah dijangkakan.\n11a.\u00a0 Lajunya kereta itu 120 kilometer sejam.\n11b.\u00a0 Kelajuan kereta itu 120 kilometer sejam.\n12a.\u00a0 Cantiknya gadis itu diakui.\n12b.\u00a0 Kecantikan gadis itu diakui.\nDalam ayat 9a dan 10a, kehadiran partikel pembenda -nya menukarkan kata kerja jatuh dan kalah kepada kata nama kejatuhan dan kekalahan. Dalam ayat 11a dan 12a, kehadiran partikel pembenda -nya menukarkan kata adjektif laju dan cantik kepada kata nama kelajuan dan kecantikan. Oleh itu, kata-kata itu dapat menjadi inti frasa nama subjek bagi ayat yang berkenaan. Dalam hal ini, kehadiran frasa nama penerang seperti kerajaan itu, pasukan itu, kereta itu dan gadis itu diwajibkan.\u00a0 Tanpa kehadiran frasa nama tersebut, partikel \u2013nya yang bercantum pada kata nama sebenarnya bukan kata pembenda tetapi merupakan kata ganti nama diri orang ketiga. Sila lihat contoh yang berikut:\n13a.\u00a0 Jatuhnya amat dikesali.\n13b.\u00a0 (Hal) jatuh kerajaan itu amat dikesali.\n13c.\u00a0 Kejatuhannya amat dikesali.\n14a.\u00a0 Kalahnya sudah dijangkakan.\n14b.\u00a0 (Hal) kalah orang itu sudah dijangkakan.\n14c.\u00a0 Kekalahannya sudah dijangkakan.\n15a.\u00a0 Lajunya 120 kilometer sejam.\n15b.\u00a0 (Hal) laju kenderaan itu 120 kilometer sejam.\n15c.\u00a0 Kelajuannya 120 kilometer sejam.\n16a.\u00a0 Cantiknya diakui.\n16b.\u00a0 (Hal) cantik gadis itu diakui.\n16c.\u00a0 Kecantikannya diakui.\nBerdasarkan kelompok ayat 13 hingga 16, dapat kita lihat bahawa tanpa frasa nama yang menyusuli frasa nama (frasa kerja atau frasa adjektif yang ditambah partikel -nya), kata kerja atau kata adjektif pada awal ayat yang berkenaan berfungsi sebagai kata nama. Oleh itu, partikel -nya dalam ayat 13a, 14a, 15a, dan 16a bukan kata pembenda tetapi merujuk frasa nama pihak ketiga seperti perkara itu, orang itu, kenderaan itu, gadis itu, dan sebagainya. Dalam ayat 13a, 14a, 15a dan 16a, kata kerja atau kata adjektif pada awal ayat ialah penerang kepada inti frasa nama yang telah digugurkan, seperti hal, perkara, kejadian, dan sebagainya.\nSoal kata kerja atau kata adjektif yang berfungsi sebagai kata nama memang banyak terdapat dalam bidang sains, dan sering digunakan dalam perbualan seharian masyarakat Melayu. Sila lihat contoh yang berikut:\nKata kerja sebagai kata nama\nRosaknya teruk.\nKerosakannya teruk.\n(Hal) rosaknya teruk.\nGunanya banyak.\nKegunaannya banyak.\n(Hal) gunanya banyak.\nTerbangnya tinggi.\nPenerbangannya tinggi.\n(Keadaan) terbangnya tinggi.\nKata adjektif sebagai kata nama\ndalam ketara = kedalaman ketara\n(apparent depth, bukan *apparent deep)\ndalam nyata = kedalaman nyata\n(real depth, bukan *real deep)\nlebar jalur = kelebaran jalur\n(band width, bukan *band wide)\nPanjangnya berapa meter?\n(panjang = kepanjangan)\nAda kalnya, kehadiran kata pembenda dalam ayat membezakan struktur ayat yang berkenaan. Sila lihat contoh yang berikut:\n17a.\u00a0 Dia berlari laju.\n17b.\u00a0 Dis berlari dengan laju.\n17c.\u00a0 Dia berlari dengan lajunya.\nAyat 17a hanya merupakan ayat tunggal dengan pola Frasa Nama + Frasa Kerja.\u00a0 Kata laju dalam ayat 17a berfungsi sebagai adverba yang menghuraikan kata kerja berlari. Ayat 17b merupakan ayat majmuk yang terbina daripada klausa bebas dia berlari dan klausa subordinat dia laju yang dihubungkan dengan kata hubung keterangan cara dengan. Ayat 17c merupakan ayat tunggal. Frasa sendi nama dengan lajunya (sendi nama + kata nama) merupakan frasa keterangan yang menghuraikan kata kerja berlari.\u00a0 Dalam hal ini, kata lajunya (kata adjektif + kata pembenda -nya) sama erti dengan kelajuan (kata nama)." "Menjana Pendapatan Negara Melalui Percukaian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSistem percukaian di negara kita bermula sejak zaman Kerajaan Melayu Melaka dan semasa pemerintahan Kerajaan Johor Riau. Cukai yang dikenakan pada waktu tersebut khusus kepada saudagar asing dan tempatan yang dikutip oleh Shahbandar di bawah Penghulu Bendahari. Penubuhan negeri Selat pada tahun 1826, menyebabkan pentadbiran cukai diletakkan bawah seorang gabenor dan Majlis Jeneral di Syarikat Hindia Timur, Calcutta.\nPada tahun 1946, Kesatuan Kastam bagi semenanjung dibentuk dan diberikan nama Customes and Excise of Malayan Union. Pada tahun 1948, Malayan Union dibubarkan dan Jabatan Kastam diletak di bawah Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri Selat di bawah Seksyen 138 Ordinan Kastam 1952. Pada awal tahun 1900 hingga tahun 1920, hasil cukai datang daripada tiga sumber penting, iaitu perdagangan candu, duti import alkohol dan tembakau yang memberikan lebih 25% dari hasil cukai kerajaan.\nSistem percukaian langsung Malaysia diperkenalkan oleh Gebenor British di Malaya dan Singapura mulai 1 Janurai 1948. Sistem percukaian itu berasaskan kepada Ordinan Cukai Pendapatan 1922 di United Kingdom. R.B. Heasman, pakar cukai dari Lembaga Hasil Dalam Negeri United Kingdom telah dihantar ke Malaya untuk membentuk sistem percukaian ini. Beliau telah mengemukakan laporan pada tahun 1947 dan mengasaskan penubuhan sistem percukaian bermodelkan sistem di UK pada masa itu. R.B. Heasman memperkenalkan cukai pendapatan dan cukai korporat di Malaysia sebagai bentuk cukai langsung. Sistem percukaian telah berkembang maju daripada bergantung sepenuhnya terhadap cukai tidak langsung dan kini hasil cukai langsung menjadi lebih besar daripada cukai tidak langsung mulai tahun 1997. Cukai langsung kini menyumbang lebih 74% daripada jumlah hasil pendapatan cukai kerajaan.\nWalau bagaimanapun, hari ini cukai dilihat sebagai satu daripada strategi untuk meningkatkan pendapatan negara. Hal ini berikutan situasi ekonomi yang tidak konsisten menyebabkan kerajaan perlu berusaha mencari alternatif bagi menjana pendapatan negara agar ekonomi terus berkembang walaupun dalam situasi yang amat perlahan. Cukai menyumbang sekitar 40% hingga 50% daripada pendapatan kerajaan selama 20 tahun terakhir.\nYang berikut merupakan statistik hasil cukai di Malaysia dalam tempoh 20 tahun berdasarkan Laporan Tahunan Kewangan Kerajaan Malaysia.\nBerdasarkan jadual, mulai tahun 2016 memperlihatkan hasil cukai pendapatan telah mengatasi hasil cukai langsung di Malaysia. Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan tersebut termasuklah kenaikan pendapatan isi rumah dan kenaikan kadar cukai. Sungguhpun demikian, dalam ekonomi yang tidak konsisten hari ini, sudah pasti kenaikan kadar cukai memberikan bebanan terhadap golongan pembayar cukai. Hal ini sudah tentu memberikan tekanan walaupun tujuan kenaikan tersebut demi memastikan kelangsungan ekonomi negara.\nTerdapat beberapa pilihan lain yang boleh dipertimbangkan selain meningkatkan cukai untuk menambah pendapatan negara. Antaranya termasuklah;\nSebelum memikirkan untuk meningkatkan cukai, kerajaan perlu memastikan penerimaan cukai sedia ada diambil dengan cekap. Hal itu termasuklah mengesan penipuan cukai, memperketat pemungutan cukai dan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem cukai.\nMalaysia mempunyai sumber kekayaan asli yang besar seperti minyak, gas, dan hasil hutan. Peningkatan kutipan royalti dan cukai atas sumber kekayaan asli ini boleh membantu meningkatkan pendapatan kerajaan.\nCukai karbon boleh diaplikasikan ke atas pengeluaran bahan api fosil yang mencipta karbon dioksida. Hal ini boleh membantu mempromosikan penggunaan sumber tenaga yang lebih bersih dan merangsang pembangunan teknologi hijau.\nKerajaan juga boleh mempertimbangkan pengurangan belanja melalui pemotongan perbelanjaan bukan penting dan meningkatkan kecekapan perbelanjaan. Hal ini boleh membantu membebaskan dana untuk digunakan dalam pembangunan dan projek strategik.\nPembangunan ekonomi yang berterusan dapat membantu meningkatkan pendapatan dan mendorong pertumbuhan ekonomi. Hal ini boleh dilakukan dengan mempromosikan pelaburan asing, membantu usahawan tempatan, meningkatkan sektor ekonomi tertentu, dan memperkenalkan inisiatif pembangunan ekonomi yang inovatif.\nPilihan tersebut dapat membantu kerajaan meningkatkan pendapatan tanpa perlu meningkatkan cukai. Oleh itu, penting untuk mempertimbangkan pilihan lain sebelum mengambil keputusan untuk menaikkan kadar cukai.\nPeningkatan Pinjaman Kerajaan\u00a0\nPentadbiran dua kerajaan yang lepas telah membelanjakan lebih RM600 bilion dalam tempoh tiga tahun bagi menangani gejala COVID-19. Hal ini menyebabkan kadar hutang negara sudah menjangkau hampir RM1.5 trilion (jika diambil kira cagaran dan jaminan kerajaan). Apakah usaha yang boleh dilakukan untuk menangani hutang negara yang melambung tinggi ini? Bagi menangani hutang negara yang melambung tinggi, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil seperti yang berikut:\nKerajaan boleh mengurangkan perbelanjaan yang tidak penting, menghapuskan projek yang tidak mempunyai keperluan atau manfaat yang ketara dan memastikan peruntukan digunakan secara efisien dan efektif.\nKerajaan boleh memberikan tumpuan terhadap inisiatif yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi untuk meningkatkan hasil dan pendapatan negara. Hal ini boleh dilakukan dengan memperkenalkan dasar dan program yang mendorong pelaburan, mengekalkan atau meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi dan memaksimumkan penggunaan sumber daya negara.\nKerajaan boleh mengambil langkah untuk meningkatkan pendapatan melalui peningkatan cukai atau memperkenalkan cukai baharu, meningkatkan kutipan cukai dan memaksimumkan hasil daripada aset negara.\nKerajaan boleh bekerjasama dengan bank pusat untuk mengurangkan kadar faedah bagi pinjaman kerajaan. Hal ini dapat mengurangkan beban pembayaran faedah yang dapat membantu mengurangkan jumlah hutang yang terkumpul.\nKerajaan boleh mencari sumber kewangan baharu melalui pelbagai inisiatif seperti pelaksanaan cukai karbon, mengurangkan subsidi atau menjual aset kerajaan yang tidak diperlukan.\nSetiap langkah mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri dan pilihan terbaik adalah bergantung pada keadaan kewangan negara serta keperluan ekonomi semasa. Pemantauan dan pengurusan belanjawan kerajaan secara berkesan untuk mengurangkan defisit dan kebergantungan terhadap hasil cukai perlu dilaksanakan. Kesedaran dan pemahaman terhadap pentingnya membayar cukai dan kesedaran tentang penggunaan dana cukai untuk pembangunan negara juga perlu ditingkatkan bagi membolehkan rakyat memahami situasi ekonomi negara dan memahami matlamat usaha yang dilakukan oleh kerajaan." "HASiL Anjurkan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin mengumumkan bahawa pengakuan sukarela menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 boleh dibuat bermula pada 6 Jun 2023 sehingga 31 Mei 2024. PKPS 2.0 ini merupakan inisiatif HASiL untuk menyokong rukun kemampanan dalam pentadbiran percukaian negara seiring dengan konsep Malaysia MADANI. Program yang ditawarkan memberikan peluang kepada pembayar cukai baharu dan sedia ada untuk meningkatkan tahap pematuhan cukai mereka berteraskan konsep A.E.S (Awareness, Education, Services) yang diamalkan di HASiL.\nPKPS 2.0 ini memberikan peluang kepada pembayar cukai tampil secara sukarela untuk melaporkan pendapatan dan pengiraan cukai yang tepat dan teratur selaras dengan ketetapan HASiL yang sedang berkuat kuasa serta menggalakkan pembayar cukai membayar cukai dalam tempoh yang ditetapkan. PKPS 2.0 ini ditawarkan kepada semua kategori pembayar cukai (kecuali kategori fail majikan) yang penalti yang ditawarkan ialah 0 peratus. Pengakuan sukarela ini hendaklah dibuat melalui kaedah berikut:\nBorang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP)/Borang Nyata Cukai Keuntungan Harta Tanah (BNCKHT) perlu dikemukakan dalam tempoh pelaksanaan PKPS 2.0 sama ada secara e-Filing/e-CKHT atau manual.\nBNCP/BNCKHT perlu dikemukakan dalam tempoh PKPS 2.0 sama ada secara e-Filing/e-CKHT atau manual.\nPengakuan sukarela perlu dikemukakan melalui pautan PKPS 2.0 di portal rasmi HASiL https://www.hasil.gov.my/MyTax dengan menggunakan Borang Pelaporan Pertambahan Pendapatan PKPS 2.0 dan pengiraan cukai. Pengiraan cukai hanya perlu dikemukakan oleh pembayar cukai kategori fail syarikat, perniagaan dan perkongsian.\nHASiL akan menerima maklumat pengakuan sukarela yang dibuat dalam tempoh PKPS 2.0 dengan suci hati. Semakan lanjut sama ada melalui audit atau siasatan tidak akan dilakukan terhadap tahun taksiran yang berkaitan dengan pendapatan yang dilaporkan secara sukarela. Pembayar cukai boleh merujuk Garis Panduan Operasi Bilangan 2 Tahun 2023 bertajuk Program Khas Pengakuan Sukarela 2.0 serta set soalan lazim berkaitan yang boleh diakses dan dimuat turun menerusi pautan berikut:\nhttps://www.hasil.gov.my/program-khas-pengakuan-sukarela-20\nhttps://www.hasil.gov.my/en/special-voluntary-disclosure-programme-svdp- 20/\nSebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada kami melalui:" "Signifikasi Tetamu Kehormat dalam Pesta Buku\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur \u00a0(PBAKL) pada edisi ke-40 baru-baru ini menampilkan pembaharuan apabila buat julung kalinya memperkenalkan negara tamu, negeri tamu dan kementerian tamu kepada para pengunjung acara itu. Untuk tujuan tersebut, tiga pavilion telah disediakan dengan negara tamu yang menjadi tumpuan ialah China, negeri tamu pula ialah Sarawak dan Kementerian Pendidikan mengisi slot yang dikhaskan untuk kementerian tamu.\nPembaharuan ini khususnya yang melibatkan negara tamu dilihat sangat penting dalam industri perbukuan kerana hal tersebut membuka ruang penerokaan baharu dalam industri tersebut yang boleh dicapai melalui kerjasama strategik secara lebih meluas terutamanya yang meliputi transaksi jualan hak cipta dan penerbitan karya terjemahan. Antara penerbit buku dari China yang bertandang di PBAKL termasuklah SDX Joint Publishing\u00a0(Sanlian Bookhouse) yang ditubuhkan pada tahun 1930. Pada tahun 2002, syarikat ini menganggotai keahlian China Publishing Group. Dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini, lebih 6000 buah buku telah diterbitkan. Antaranya termasuklah hasil karya Chen Yinque, hasil karya Ch\u2019ien Chung-shu, dan\u00a0 Siri Perpustakaan SDX & Harvard-Yenching Academic yang sarat dengan nilai ideologi, budaya dan sosial yang signifikan.\nSelain terlibat dengan penerbitan buku, SDX juga komited terhadap jurnal. Sehingga kini, Life Weekly telah dinilai sebagai majalah paling berpengaruh di China; terbitan berkala Reading Monthly pula mempunyai peminat yang tersendiri khususnya dalam kalangan intelektual Cina. SDX turut mengendalikan kedai buku 24 jam yang pertama di Beijing, iaitu SDX Taofen Book Store yang pernah memenangi Anugerah The Bookstore Spirit of China di Pesta Buku London pada 2018. Platform media baharu SDX yang dikenali sebagai Zhongdu telah dipilih sebagai 10 platform sains sosial dan kemanusiaan terbaik pada tahun 2020.\nIdea menghadirkan negara tamu dalam acara pesta buku berskala besar sebenarnya telah pun dimulakan dalam penganjuran pesta buku terbesar di dunia, Frankfurter Buchmesse atau Frankfurt Book Fair (FBF) yang berlangsung di kota Frankfurt, Jerman sejak dari tahun 1976. Kehadiran sebuah negara sebagai etamu kehormat menghidupkan Frankfurter Buchmesse dengan wajah dan watak baharu setiap tahun. Bagi negara yang menjadi tetamu kehormat itu pula, penampilannya dalam acara perbukuan terbesar di dunia itu mempunyai dua kepentingan, iaitu\u00a0 yang pertama, bidang kesusasteraan dan kebudayaan negara tersebut pastinya mendapat sorotan dan perhatian yang luar biasa; dan kedua, industri penerbitan di negara tersebut secara tidak langsung menjadi tumpuan acara antarabangsa terbesar dalam dunia buku dan media dan berpeluang mendapat jemputan dalam acara perbukuan yang diadakan di negara-negara lain. Secara keseluruhannya penampilan tetamu kehormat dalam sesebuah acara perbukuan menjadi magnet kepada penonton dan cangkuk yang melekat kepada media untuk membuat liputan.\nObjektif Kehadiran Tetamu Kehormat\nAntara objektif utama Frankfurter Buchmesse memperkenalkan tetamu kehormat dalam acaranya termasuklah untuk mengukuhkan rangkaian antarabangsa dalam industri penerbitan dan institusi kebudayaan setiap negara yang terpilih; membawa sasteranya ke serata dunia; dan meningkatkan bilangan terjemahan dari negara tersebut. Untuk tujuan tersebut, tetamu kehormat biasanya akan mengadakan program khas bagi mempromosikan terjemahan. Dengan peluang yang terhidang, negara yang menjadi tetamu kehormat bukan sahaja dapat mengukuhkan perdagangan lesen dan memperluaskan hubungan penerbitan antarabangsa, malah penganjur juga mendapat manfaat dari sudut peningkatan perhatian, promosi pengarang dan kehadiran penerbit di pasaran buku terbesar di dunia.\nDari aspek pembaca dan orang awam, kehadiran tetamu kehormat menawarkan titik akses baharu kepada kesusasteraan dan kebudayaan bagi sesebuah negara. Negara yang diketengahkan sudah tentu menghadirkan minat yang luar biasa dalam kelompok pengamal media sehingga ada yang menyatakan bahawa liputan terhadap sesebuah negara yang menjadi tetamu kehormat mencecah ribuan laporan pada satu-satu masa.\nPenampilan sesebuah negara sebagai tetamu kehormat juga memberikan dorongan untuk perdebatan yang lebih sengit tentang negara tersebut sehinga menghasilkan kesedaran yang lebih besar tentang politik, sejarah dan masa ini atau masa hadapan tentang kedudukan negara tersebut. Program sokongan terhadap kebudayaan bagi negara yang menjadi tetamu kehormat menyumbang kepada penubuhan atau hubungan budaya antarabangsa yang berpanjangan sekali gus menggalakkan pertukaran budaya, dialog dan pelancongan.\nKaedah Menjadi Tetamu Kehormat\nUntuk menjadi tetamu kehormat, mana-mana negara yang berminat perlu mengemukakan permohonan melalui persatuan penerbit negara tersebut dengan menyertakan beberapa kriteria yang diperlukan seperti senario industri penerbitan yang sedang berkembang maju bagi negara yang membuat permohonan, sokongan untuk terjemahan, dan bajet serta struktur organisasi yang mencukupi untuk merealisasikan program tersebut.\nPemilihan sesebuah negara menjadi tetamu kehormat dalam acara Frankfurter Buchmesse selanjutnya dilakukan melalui perundingan dengan lembaga penyeliaan B\u00f6rsenverein des Deutschen Buchhandels (Persatuan Penerbit dan Penjual Buku Jerman). Kontrak antara Frankfurter Buchmesse dan tetamu kehormat kemudiannya dimeterai antara penganjur dengan kementerian kebudayaan atau persatuan penerbit negara tersebut dan hal tersebut biasanya ditandatangani tiga tahun lebih awal daripada penampilan sebenar negara yang terpilih menjadi tetamu kehormat.\nTetamu Kehormat pada dasarnya bertanggungjawab untuk mereka bentuk, mengatur dan membiayai penampilannya di pameran itu. Untuk berbuat demikian, sejurus selepas kontrak ditandatangani, tetamu kehormat akan menubuhkan jawatankuasa penganjur untuk mengendalikan persiapan kira-kira dua tahun sebelum acara berlangsung. Biasanya, jawatankuasa penganjur ini akan bekerjasama dan bergabung dengan kementerian kebudayaan atau pendidikan serta persatuan penerbit kebangsaan.\nPeranan Penganjur dan Tetamu Kehormat\nKira-kira setahun sebelum penampilan negara dalam acara sebagai tetamu kehormat, sebuah pejabat akan dibuka di Frankfurt, dengan meletakkan wakil daripada jawatankuasa penganjur yang boleh dihubungi di tapak pameran. Di samping itu, agensi dalam perhubungan awam juga diperlukan untuk membantu mengendalikan semua komunikasi, pengiklanan dan kehadiran yang berkaitan dengan urusan tetamu kehormat.\n\nPada masa yang sama penganjur Frankfurter Buchmesse menawarkan bimbingan kepada tetamu kehormat yang merangkumi perancangan dan pelaksanaan penampilan negara tersebut dalam acara. Bagi tetamu kehormat pula, wakil daripada jawatankuasa penganjur akan memainkan peranan sebagai antara muka yang mewakili negara di Frankfurter Buchmesse dengan pelbagai institusi kebudayaan dan rakan kongsi yang bekerjasama di seluruh Jerman.\nSelain itu, melalui program dan acara profesional, Frankfurter Buchmesse menyokong rangkaian dan menghubungkan industri penerbitan tetamu kehormat dengan industri buku dan media antarabangsa. Untuk penampilan tetamu kehormat itu sendiri, Frankfurter Buchmesse menyediakan kawasan pavilion seluas kira-kira 2000 meter persegi di tapak pesta.\nDan hasilnya, program tetamu kehormat pastinya menjadi tumpuan sepanjang acara berlangsung, iaitu lima hari yang dipilih dalam bulan Oktober setiap tahun. Kebiasaannya tetamu kehormat membuat penampilan dalam majlis perasmian pameran itu yang dimulakan oleh seorang sasterawan atau tokoh pemimpin dari negara tersebut. Astaka tetamu kehormat akan berada di tengah-tengah ruang pameran dan dari situ, tetamu kehormat akan menampilkan hasil karyanya melalui pameran yang direka khas dan menawarkan program yang pelbagai dalam ruang acara bersepadu, dengan bacaan, perbincangan, persembahan dan barangkali diselit juga waktu ria (happy hour) kepada pengunjung.\nSecara purata, tetamu kehormat membawa kira-kira 50 pengarang ke Frankfurter Buchmesse. Juga dipamerkan di pavilion termasuklah pameran antarabangsa tentang karya yang bercirikan motif negara tersebut merangkumi \u00a0karya sastera dalam terjemahan. Penerbit dari negara yang diketengahkan turut hadir di gerai secara kolektif termasuk di pelbagai kawasan tematik Frankfurter Buchmesse.\nProgram sokongan yang pelbagai turut ditawarkan di luar tapak acara misalnya di sekitar bandar Frankfurt dan lokasi lain. Hal ini adalah kerana kehadiran tetamu kehormat tidak terhad kepada hanya lima hari di Frankfurter Buchmesse dalam bulan Oktober, sebaliknya negara tersebut turut diberi ruang untuk memberikan pendedahan terhadap banyak keluaran baharu negara itu kepada industri dan masyarakat tempatan. Sepanjang penampilannya sebagai tetamu kehormat, khususnya semasa minggu Frankfurter Buchmesse, negara yang diketengahkan akan membawa sorotan budayanya ke Frankfurt dan kawasan sekitarnya, serta di kebanyakan bandar lain yang melibatkan perbincangan panel mengenai politik, kesusasteraan dan peristiwa semasa yang berkaitan dengan seni seperti teater, tarian, muzik, filem, persembahan, malam sastera-kulinari, dan konvensyen.\nBanyak penerbit dan institusi kebudayaan tempatan mengambil tema tetamu kehormat dengan menyepadukan tajuk dan sumbangan negara tersebut ke dalam program mereka. Dengan itu, tetamu kehormat dapat mengambil kesempatan daripada rangsangan besar tersebut untuk menyertai pameran perdagangan dan festival sastera dan kebudayaan di tempat yang lain. Dikatakan sejumlah 500 acara yang berkaitan dengan tetamu kehormat berlangsung setiap tahun di Frankfurter Buchmesse dan juga kawasan-kawasan terpilih yang telah ditetapkan menerusi program kerjasama antara negara yang diketengahkan dengan penerbit serta institusi kebudayaan tempatan.\nSumber gambar: Facebook rasmi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur" "Kepentingan Harta Intelek Didaftarkan di MyIPO\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cPemain industri digalakkan untuk mendaftarkan harta intelek menerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi melindungi harta mereka.\u201d Demikian menurut jurucakap MyIPO, Puan Noorfarrawiza Mohamed Zabidi, dalam sesi perkongsian ilmu: \u201cKesedaran dan Kepentingan Perlindungan Harta Intelek\u201d bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, petang semalam.\nKatanya, \u201csiapa-siapa pun antara kita hidup dikelilingi oleh harta intelek.\u201d Beliau mengambil contoh sebuah telefon bimbit merupakan harta intelek yang meliputi reka bentuk perindustrian, paten, cap dagangan (jenama produk) dan hak cipta (kandungan produk). Harta intelek sebagai rahsia dagang atau maklumat sulit dagang yang dilindungi oleh undang-undang.\nPuan Noorfarrawiza menjelaskan bahawa cap dagangan mempunyai perbezaan dari segi simbol \u2122 dan \u00ae. Simbol \u2122 menunjukkan cap dagang tersebut tidak berdaftar di MyIPO. Jika terdapat simbol \u00ae, cap dagang sudah didaftarkan di MyIPO dan pemain industri menerima sijil MyIPO yang diperakui oleh undang-undang.\nMenurutnya, cap dagang semakin diperluas bagi melindungi harta intelek termasuklah bunyi dan bau. Walau bagaimanapun, tidak semua simbol atau logo \u2122 boleh didaftarkan lebih-lebih lagi\u00a0 sekiranya cap dagangan tersebut bertujuan memperdayakan dan mengelirukan pengguna, terlibat dengan skandal atau menyinggung serta memudaratkan keselamatan kepada negara dan kepentingan komuniti.\nBegitu juga paten yang merupakan hak eksklusif yang dianugerahkan untuk suatu reka cipta sama ada sebagai produk ataupun proses untuk melakukan sesesuatu yang baharu atau penyelesaian teknikal terhadap sesuatu masalah. Paten yang didaftarkan dapat digunakan untuk tujuan industri.\nReka bentuk yang boleh didaftarkan \u00a0perlu memenuhi tafsiran reka bentuk perindustrian dan yang baharu di Malaysia atau di tempat lain, serta tidak bertentangan dengan ketenteraman awam atau prinsip moral.\n\u201cPetunjuk geografi pula merujuk sesuatu tanda yang digunakan terhadap sesuatu produk kerana produk tersebut mempunyai kualiti dan reputasi yang dapat dikaitkan dengan sesuatu kawasan seperti Sabah Tea, Songket Terengganu, Keropok Losong, dan Halia Bentong,\u201d katanya.\nMenurutnya, reka bentuk susun atur litar bersepadu merupakan suatu susunan tiga dimensi unsur sesuatu litar bersepadu yang mengandungi sebahagian atau semua unsur hubungan litar bersepadu atau susunan tiga dimensi yang disediakan untuk tujuan persediaan bagi proses perkilangan.\nPuan Noorfarrawiza turut menjelaskan bahawa hak cipta tertakluk di bawah Akta Hak Cipta 1987 yang merupakan hak eksklusif yang diberikan oleh undang-undang kepada pemilik karya bagi satu tempoh tertentu. Pemilik karya merupakan pencipta (author), pemunya (owner) dan pelaku (performer). Misalmya, M. Nasir merupakan pencipta sesuatu lagu, empunya lagu dimiliki oleh Luncai Emas, syarikat ini dimiliki oleh M. Nasir dan penyanyi lagu tersebut ialah M. Nasir, maka M. Nasir merupakan pemilik karya tersebut.\nHak eksklusif sangat penting kerana hak ini diberikan kepada pemilik karya untuk menghalang orang lain daripada mengeluarkan semula, menerbitkan semula, membuat pertunjukan kepada awam, siaran, atau membuat apa-apa penyesuaian terhadap karya tersebut. Pengkarya boleh menghalang atau memberikan kebenaran berlesen.\n\u201cWalaupun pendaftaran harta intelek tidak diwajibkan, tetapi pemain industri sangat digalakkan bagi\u00a0 melindungi harta intelek,\u201d katanya lagi." "Buku DBP Dijangka Tembusi Pasaran ASEAN\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 ASEAN Rights Fair 2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula 30 Mei hingga 1 Jun 2023 di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Pusat Dagangan Kuala Lumpur dijangka memberikan harapan yang cerah kepada pemain industri buku khususnya penerbit ulung, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nDalam sesi pertemuan dan kerjasama antara pemain industri buku dengan anggota rantau ASEAN, beberapa pihak menunjukkan minat untuk saling bertukar hak pelesenan penerbitan dengan DBP. Pengarah Pustaka Nasional, Syed Ali Semait bersedia memberikan kerjasama yang baik untuk memberikan laluan terbitan buku DBP berbahasa Melayu menembusi pasaran Singapura.\n\u201cKita mempunyai satu bahasa, sama-sama melahirkan hasrat untuk mencambahkan ilmu dalam kalangan masyarakat menerusi penerbitan buku. Buku DBP sudah lama dikenali di Singapura. Kita berhasrat untuk meneruskan hubungan ini semula menerusi pertukaran penjualan pelesenan penerbitan,\u201d katanya.\n\nSelain itu, penerbit World Scientific dari Singapura, Chua Hong Koon juga bersedia memberikan kerjasama yang baik untuk bertukar maklumat berkaitan dengan pelesenan penerbitan buku kanak-kanak. \u201cIndustri kami berminat untuk mendapatkan informasi berkaitan dengan karya cereka klasik kanak-kanak daripada terbitan DBP. Setakat ini penerbit kami sudah menerbitkan buku kanak-kanak berasaskan sumber manuskrip Sejarah Melayu: Singapura Dilanggar Todak dan antologi cereka: Puteri Gunung Ledang.\u201d\nMenurut jurucakap Graha Ilmu, HBR Slamet penerbit Indonesia itu juga bersedia memberikan kerjasama yang baik dengan DBP bagi melebarkan penerbitan buku antara kedua-dua belah pihak.\nIbu Flora daripada penerbitan PT Kanisius, Yogyakarta, Indonesia juga menyatakan minat yang serius berhubung dengan pembelian pelesenan penerbitan yang melibatkan situasi menang-menang antara kedua-dua belah pihak.\nSelain negara ASEAN, negara dari Tembok Besar China juga menunjukkan minat terhadap pembelian pelesenan buku kanak-kanak terbitan DBP. Olivia Wang dari Jieli Publishing House menyatakan hasrat untuk mengadakan kerjasama dengan DBP pada masa hadapan." "LHDN Rasmi Pejabat Satelit di Langkawi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour, Gabenor Baharu Bank Negara Malaysia Mulai 1 Julai Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bank Negara Malaysia (BNM) pada 9 Jun lalu mengumumkan pelantikan gabenornya yang baharu, iaitu Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkuat kuasa 1 Julai ini. BNM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan memaklumkan bahawa pelantikan gabenor baharu itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh lima tahun hingga 30 Jun 2028.\nBeliau akan mengambil alih jawatan tersebut daripada Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 30 Jun ini.\nPelantikan sebagai Gabenor merupakan suatu penghormatan kepada saya dan akan meneruskan dan meningkatkan lagi usaha Gabenor Shamsiah,\u201d katanya dalam kenyataan tersebut.\nTambah beliau, bank akan terus memenuhi mandatnya untuk menggalakkan kestabilan monetari dan juga kewangan meskipun melalui banyak tempoh yang mencabar termasuk krisis pandemik di bawah kepimpinannya. Katanya, beliau juga telah memulakan pelbagai inisiatif pemodenan organisasi untuk membentuk semula dan meletakkan bank pada kedudukan yang lebih baik bagi memanfaatkan peluang dan menangani cabaran pada masa hadapan dan beliau akan berusaha dan memberikan yang terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Gabenor.\nDatuk Abdul Rasheed mula berkhidmat pada tahun 1988 dan dilantik sebagai Timbalan Gabenor pada tahun 2016. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya dan juga mempunyai MBA dari Sa\u00efd Business School, Oxford University. Sepanjang kerjayanya, Datuk Abdul Rasheed pernah memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan dan kini merupakan ahli Jawatankuasa Dasar Monetari dan Jawatankuasa Kestabilan Kewangan sejak tahun 2015. Beliau juga telah memainkan peranan penting dalam pembangunan dan pelaksanaan Pelan Induk Sektor Kewangan (2000-2010) dan Pelan Sektor Kewangan (2011-2020 dan 2022-2026).\nSementara itu, Gabenor Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata menerajui Bank Negara selama lima tahun ini merupakan suatu penghormatan kepadanya dan beliau berterima kasih kerana diberi peluang untuk memimpin bank dan berkhidmat untuk negara, terutamanya semasa keadaan tidak menentu dan sangat penting kepada negara.\nBeliau percaya pemilihan Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour merupakan pilihan yang tepat untuk menerajui BNM sebagai Gabenor setelah bertahun-tahun bekerjasama rapat dengan beliau.\n\u201cSaya yakin dengan keupayaan beliau untuk memimpin Bank Negara bagi\u00a0 memenuhi mandat, iaitu menggalakkan kestabilan monetari dan kestabilan kewangan yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan,\u201d katanya dalam kenyataan tersebut." "Memperkasakan Sektor Pertanian di Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap usaha untuk memperkasakan sektor pertanian di negeri Perlis akan terus diperluaskan dengan mempelopori kaedah pertanian moden serta pemasaran produk secara digital yang kini didapati berupaya untuk menguntungkan para petani dan penternak negeri ini.\nMereka juga perlu diberikan pendedahan dan bimbingan untuk meningkatkan hasil pendapatan walaupun melibatkan keluasan kawasan pertanian yang kecil.\nDemikian titah baginda selepas berkenan berangkat mengetuai program \u201cKayuhan MAIPs Peduli\u201d anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Al-Mursyid, Guring, Pekan Pauh, Arau baru-baru ini. Dalam program tersebut turut diadakan simbolik Penyerahan Kutipan Tapak Wakaf MAIPs Pasar Pagi Ahad, Pauh, Arau bagi empat bulan pertama tahun 2023 berjumlahi RM2407.50.\nHadir sama mengiringi baginda dalam program tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor." "Malaysia Perlu Bangunkan Pelan Tindakan untuk Tarik Penanam Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Malaysia perlu membangunkan pelan tindakan bagi mengekalkan bakat sedia ada dan menarik generasi baharu penanam sebagai penggerak industri.\nTimbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadhillah Yusof berkata industri ini akan menghadapi kekurangan penanam yang berbakat dan berkelayakan.\u00a0Melalui ucapan perasmian Persidangan Penanam Antarabangsa Ke-10 (IPC2023) beliau yang dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Mad Zaidi Mohd [email\u00a0protected], beliau yang juga merupakan Menteri Perladangan dan Komoditi menegaskan bahawa industri semakin ketandusan penanam yang berkelayakan. Kerja secara berpasukan amat perlu bagi mencari penyelesaian isu tersebut demi kelangsungan industri.\nKementerian Perladangan dan Komoditi juga telah mewujudkan pelbagai platform dan mekanisme untuk pihak berkepentingan berkongsi idea, pengetahuan dan maklum balas mengenai pembentukan garis panduan.\n\u201cKita memerlukan persetujuan dan konsensus untuk bergerak ke hadapan dalam mencapai matlamat dan Incorporated Society of Planters (ISP) yang boleh memainkan peranan yang aktif dalam pembentukan dasar dan garis panduan,\u201d jelasnya.\nSementara itu, pihaknya akan mengambil bahagian dalam skim dan peraturan yang berdaya maju untuk memastikan penyesuaian teknologi sebagai platform penting bagi meningkatkan produktiviti melalui teknologi terkini.\nDatuk Seri Fadillah Yusof juga menyatakan bahawa seiring dengan usaha kerajaan berdasarkan Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2023 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), penanam diharap dapat dilengkapi dengan pengetahuan, kemahiran dan pengetahuan digital terkini yang boleh diaplikasikan sebagai persediaan mengatasi isu dan cabaran dalam industri.\nKerajaan juga telah bersetuju untuk mengehadkan jumlah kawasan tanaman sawit dengan memberikan tanggungjawab tersebut kepada penanam bagi meningkatkan produktiviti tanah sedia ada. Tanggungjawab ini termasuklah melalui amalan pertanian yang baik, bahan genomik baharu serta mekanisasi dan automasi selain pengurusan kos operasi yang bijak walaupun kos input kian meningkat." "Perdagangan Borong dan Runcit Malaysia Meningkat 6.3 Peratus pada April 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan bahawa perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatat nilai jualan berjumlah RM136.0 bilion, meningkat sebanyak 6.3 peratus tahun ke tahun pada April 2023. Menurut jabatan berkenaan, kenaikan itu disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat 12.9 peratus atau RM6.9 bilion kepada RM60.5 bilion, manakala perdagangan borong juga menokok 3.2 peratus atau RM1.9 bilion kepada RM60.9 bilion.\nBagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit turun -1.8 peratus berikutan penyusutan bagi subsektor kenderaan bermotor dan perdagangan borong, iaitu masing-masing -19.8 peratus dan -1.1 peratus. Subsektor kenderaan bermotor pada 5.1 peratus turun kepada RM14.6 bilion yang dipengaruhi oleh jualan kenderaan bermotor yang merosot -17.3 peratus atau RM1.4 bilion kepada RM6.8 bilion. DOSM turut menyatakan bahawa jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal turut menguncup -29.8 peratus.\nBagi perbandingan bulanan, subsektor ini turut merekodkan pertumbuhan negatif sebanyak -19.8 peratus disebabkan oleh kejatuhan pada jualan kenderaan bermotor dengan -33.5 peratus. DOSM turut menambah dari segi prestasi rentas subsektor, pertumbuhan subsektor perdagangan runcit mencatatkan sebanyak 12.9 peratus pada April 2023 disokong oleh jualan runcit bagi kedai bukan pengkhususan yang meningkat 18.0 peratus atau RM3.6 bilion kepada RM23.4 bilion. Kumpulan lain dalam subsektor tersebut yang turut merekodkan pertumbuhan positif termasuklah jualan runcit kedai pengkhususan 17.4 peratus; jualan runcit bahan api kenderaan 19.6 peratus dan jualan runcit makanan, minuman dan tembakau sebanyak 15.1 peratus.\nKenaikan 3.2 peratus bagi subsektor perdagangan borong pula disumbangkan oleh jualan borong makanan, minuman dan tembakau yang meningkat sebanyak RM900 juta atau 7.7 peratus kepada RM12.1 bilion. Hal itu diikuti oleh jualan borong barangan isi rumah (5.4 peratus) dan jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (5.1 peratus). Indeks volum perdagangan borong dan runcit pada April 2023 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.7 peratus yang disumbangkan oleh perdagangan runcit (10 peratus) dan perdagangan borong (3.4 peratus). Indeks volum pelarasan musim pula meningkat 6.5 peratus bagi bulan ke bulan." "Isu Bahasa Melayu: Ambil Cakna Teguran Perdana Menteri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur\u00a0\u2013\u00a0Semua pihak perlu cakna akan teguran Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob\u00a0supaya menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi kerajaan termasuklah lawatan kerja di luar negara.\u00a0Menurut Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang juga merupakan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, penegasan Perdana Menteri itu wajar dipuji kerana sememangnya bahasa Melayu sudah lama diterima sebagai bahasa antarabangsa.\nBuktinya, banyak perjanjian antara kerajaan Melayu lama dengan pihak British, Belanda dan sebagainya ditulis dalam bahasa Melayu yang bertulisan Jawi. Tambah beliau, teguran itu\u00a0seharusnya dilihat sebagai satu daripada cita-cita negara untuk mengangkat semula bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa. Menteri Luar Negeri Malaysia juga telah membuat pengisytiharan untuk menggerakkan satu gagasan baharu yang disebut sebagai Diplomasi Kebudayaan termasuklah dalam memperkasakan bahasa kebangsaan melalui pejabat kedutaan negara Malaysia di luar negara.\nYang turut mengulas mengenai perkara ini ialah Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Borhan. Tegasnya, pelbagai usaha telah diadakan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN). Menurut beliau, Malaysia sebenarnya ketinggalan berbanding dengan negara jiran Indonesia, yang telah pun membawa bahasa mereka sebagai bahasa rasmi ASEAN, dengan menempatkan guru-guru bahasa mereka di selatan Thailand. Negara tersebut juga menggerakkan kedutaan mereka sebagai agensi yang menyebarluaskan bahasa Melayu Indonesia kepada dunia luar.\nDalam usaha untuk mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu di persada global, dana besar perlu diberikan kepada pihak yang bertanggungjawab memperkasakan bahasa kebangsaan seperti DBP. Bukan itu sahaja, Jabatan Bahasa Melayu juga perlu diwujudkan di peringkat antarabangsa dalam institusi tersebut agar usaha untuk terus memperkasakannya di luar negara dapat dilaksanakan secara lebih teratur.\nMenurut Felo Kehormat, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Emeritus Dato\u2019 Dr. Mohd Yusof Othman, yang membicarakan peranan bahasa Melayu dalam kemajuan negara terutamanya dalam era Revolusi Industri Keempat (IR 4.0), Malaysia juga seperti negara lain tidak dapat lari daripada IR 4.0. Pelbagai istilah dalam bahasa Melayu sebenarnya mampu menggerakkan negara dalam bidang sains dan teknologi tanpa meminggirkan kedudukan bahasa tersebut sebagai bahasa kebangsaan. Jepun sebagai contoh masih mampu bergelar sebagai sebuah negara maju dengan hanya menggunakan bahasa ibunda mereka.\nPenubuhan sebuah Majlis Bahasa Melayu atau Bahasa Kebangsaan mampu menjadi titik tolak untuk terus memperkasakan kedudukan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Negara kita boleh membangun selaras dengan kemajuan IR 4.0 dalam acuan orang kita sendiri termasuklah dengan menggunakan bahasa Melayu. Hal ini disebabkan oleh penyampaian ilmu dalam bahasa ibunda mampu membuatkan seseorang itu lebih memahami tentang maklumat tersebut berbanding dengan menggunakan bahasa asing terutamanya bagi para pelajar di luar bandar.\nSementara itu, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, iaitu Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi mengulas tentang program yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan yang telah dijalankan oleh DBP seperti Dekad Bahasa Kebangsaan.\nSaban tahun DBP mengadakan pelbagai program dan aktiviti kebahasaan sebagai hasrat untuk menyerlahkan jati diri dan citrawarna bangsa Malaysia. Namun begitu, dasar negara kita dilihat acapkali berubah apabila berlakunya perubahan politik dalam pemerintahan negara dan hal ini tidak berlaku di negara lain. Pelbagai istilah dalam bahasa Melayu juga sebenarnya\u00a0telah diperkenalkan oleh DBP,\u00a0namun penerimaan masyarakat masih kurang kerana kebanyakannya masih gemar menggunakan istilah dalam bahasa lain.\nTambah beliau, masih wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang memperkecilkan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Hal ini mungkin disebabkan mereka sebagai golongan yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar ketika negara masih dijajah pada suatu masa dahulu. Walau bagaimanapun, usaha yang berterusan oleh semua pihak mungkin mampu untuk terus memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat global.\nDemikianlah antara perbincangan dan ulasan menarik daripada barisan panel jemputan yang bersiaran menerusi aplikasi Zoom dan Facebook Universiti Putra Malaysia (UPM), serta Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 10 pagi tadi dalam \u201cRancangan Peka Bahasa: Bahasa Melayu di Persada Global\u201d. Program ini anjuran bersama oleh Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM dan DBP. Pengarah Pusat Pembangunan Akademik UPM, Prof. Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar telah bertindak selaku moderator forum yang telah berlangsung selama hampir dua jam." "Alliance Bank Malaysia dan Sedania Melancarkan Program Pembiayaan Penuh Bantu PKS Menjadi Organisasi Tenaga Mampan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Alliance Bank Malaysia Berhad telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Sedania Technologies Sdn. Bhd. bagi melancarkan pembayaran penuh untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjadi organisasi tenaga mampan. MoU itu akan menyaksikan Sedania menyediakan kos perbelanjaan awal dan khidmat nasihat kepada pelanggan PKS Alliance Bank dan Alliance Islamic Bank yang layak berkenaan naik taraf pejabat atau bangunan, termasuklah penyaman udara cekap tenaga, pengawal pintar dan rumusan pencahayaan.\nKetua Kumpulan PKS dan Pegawai Perbankan Komersial Alliance Bank, Raymond Chui Keng Leng menyatakan bahawa program itu merupakan inisiatif pertama yang berpotensi untuk mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 20% dan membantu mengelakkan pelepasan 25 juta tan karbon di Malaysia selama setahun. Beliau menambah bahawa mereka sedang membina ekosistem yang mampan melalui perkongsian dengan pemimpin, badan pensijilan dan syarikat yang menyediakan produk dan perkhidmatan teknologi hijau. Program itu juga menawarkan sokongan kepada PKS melalui pendekatan 3A iaitu Advokasi, Nasihat dan Jawapan yang mengesyorkan satu set rumusan ESG kewangan dan bukan kewangan untuk membantu PKS berjaya mengamalkan budaya perniagaan mampan.\nKetua Pegawai Eksekutif Sedania Innovator Berhad, Danial Rupert menyatakan bahawa PKS Malaysia menyumbang sebanyak 70% pelepasan karbon diosikda. Selain itu, PKS Malaysia juga masih keberatan untuk mengamalkan amalan ESG disebabkan oleh kos. Program itu akan memberikan PKS pengurangan kos dan peralatan pejabat baharu dengan kos ditanggung oleh Sedania, menyediakan tawaran perkhidmatan nilai tambah baharu dan persekitaran yang mempunyai kurang pelepasan karbon. Program itu akan memberikan contoh bahawa pematuhan ESG boleh dicapai dengan faedah ketara dan tanpa kos tambahan." "Malaysia Catat Aliran Masuk Bersih FDI RM74.6 Bilion pada Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Aliran masuk bersih pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia meningkat kepada RM74.6 bilion pada tahun 2022 daripada RM50.4 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya, manakala pelaburan di luar negara (DIA) mencatatkan RM58.6 bilion berbanding RM19.4 bilion pada tahun 2021.\nJabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan bahawa pada akhir 2022, kedudukan FDI mencatatkan nilai yang lebih tinggi iaitu RM879.1 bilion. Prestasi FDI dan DIA yang menggalakkan itu menunjukkan keadaan ekonomi dalam negara yang memberangsangkan sekali gus menarik syarikat asing untuk terus melabur manakala syarikat tempatan mengembangkan dan mempelbagaikan aktiviti perniagaan di luar negara.\nJabatan itu memaklumkan berdasarkan prestasi FDI mengikut sektor, pembuatan berkembang RM17.1 bilion untuk merekodkan aliran masuk bersih RM49.5 bilion yang menyumbang kepada aliran terbesar dalam FDI. Sektor pembuatan pula menarik 66.4 peratus daripada jumlah pelaburan, terutama dalam subsektor elektrik, peralatan pengangkutan dan pembuatan lain. Sektor perkhidmatan pula merupakan penyumbang kedua terbesar terutama dalam aktiviti kewangan, diikuti sektor perlombongan terutama dalam bentuk ekuiti dan dana pelaburan saham.\nRantau Amerika memintas Asia sebagai rantau tertinggi FDI bagi 2022 dengan aliran masuk bersih sebanyak RM42.6 bilion, terutama dari Amerika Syarikat yang berjumlah RM37.8 bilion. Kedudukan FDI telah meningkat kepada RM879.1 bilion pada akhir tahun 2022 daripada RM782.0 bilion pada tahun sebelumnya. Rantau Asia menjadi sumber utama kedudukan FDI dengan nilai sebanyak RM449.0 bilion, diikuti oleh Eropah pada RM224.5 bilion dan Amerika pada RM187.3 bilion pada akhir tahun 2022.\nDOSM menjelaskan bahawa sektor perkhidmatan kekal sebagai penerima terbesar iaitu 48.4 peratus atau RM429.1 bilion, dipacu oleh aktiviti kewangan dan borong, diikuti oleh sektor pembuatan yang merangkumi 43.5 peratus dari jumlah FDI, terutama dalam subsektor elektrik, peralatan pengangkutan dan pembuatan lain. Aliran DIA meningkat sebanyak RM39.3 bilion untuk merekodkan RM58.6 bilion pada tahun 2022, disumbangkan oleh aliran keluar yang lebih tinggi dalam ekuiti dan keuntungan yang dikekalkan di luar negara.\nPerkhidmatan kekal sebagai sektor utama bagi DIA, menyumbang 72.2 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan terutama dalam aktiviti kewangan. Sektor perlombongan dan pengkuarian serta pembuatan masing-masing menyumbang 12.5 peratus dan 10.2 peratus, tambah jabatan itu.\nDOSM memaklumkan bahawa Asia memintas Eropah sebagai rantau utama bagi aliran DIA pada 2022 dengan nilai sebanyak RM23.5 bilion terutama ke Indonesia dan Singapura. Keadaan itu diikuti oleh Eropah dan Amerika masing-masing pada RM21.0 bilion dan RM12.0 bilion. Secara keseluruhan, negara penyumbang utama bagi aliran DIA ialah terutamanya disalurkan ke Belanda, Indonesia dan Singapura.\nPada akhir tahun 2022, kedudukan DIA berada pada RM607.5 bilion berbanding RM546.5 bilion pada tahun 2021, dengan Singapura, Indonesia dan Belanda merupakan tiga destinasi utama bagi para pelabur. Menurut DOSM setelah pandemik COVID-19 mereda dan ekonomi global mula kembali pulih secara perlahan-lahan daripada kesannya, analisis lanjut mengenai pendapatan yang diperoleh daripada pelaburan pada 2022 menunjukkan pelabur FDI dan DIA terus menikmati pulangan yang tinggi.\nPulangan pelaburan bagi syarikat yang membuat FDI pada 2022 turun sedikit kepada RM0.12 daripada RM0.13 pada 2021 bagi setiap RM1.00 yang dilaburkan. Sementara itu, syarikat Malaysia menerima RM0.08 bagi setiap RM1.00 pelaburan yang dibuat di luar negara. DOSM menjelaskan bahawa sektor perkhidmatan memperoleh pendapatan tertinggi daripada FDI, sementara sektor pembuatan memperoleh pendapatan tertinggi daripada DIA." "Kerencaman Sosioekonomi di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTahun 2023 telah memasuki bulan keenam yang begitu mencabar bagi rakyat Malaysia. Suatu kajian masa hadapan meramalkan bahawa beberapa cabaran yang bakal dihadapi oleh rakyat Malaysia. Hal ini kedengaran menggerunkan, namun perlu diperhalusi agar langkah mengawal cabaran tersebut dapat dilaksanakan.\nKerancuan Isu Dalaman Negara\nRealiti yang berlaku di negara ini dan bukan isu baharu untuk diketengahkan sebagai cabaran sebuah negara yang menuju ke arah negara maju termasuklah pencerobohan tanah kerajaan. Pencerobohan ini kian menjadi-jadi sama ada pencerobohan bagi tujuan penanaman pokok buah-buahan, penempatan haram atau membina rumah ibadat secara haram. Mereka gunakan pengaruh politik dan sentimen agama untuk menghalalkan perbuatan salah yang sudah terang lagi bersuluh.\nIsu pemanasan global dengan cuaca yang tidak menentu telah mengakibatkan bencana alam yang luar biasa seperti banjir dan kemarau yang mengundang strok haba. Fenomena El Nino yang sedang dialami kini menyebabkan hujan berkurangan sekali gus berisiko mengakibatkan paras air sungai merosot dan empangan menjadi kering. Fenomena ini dijangka berlarutan hingga bulan September 2023. Hal ini amat membimbangkan kerana bencana ini dapat menjejaskan kesihatan dan keselamatan masyarakat.\nSelain itu, kes dadah yang tidak pernah selesai dan terus bermaharajalela menjadi cabaran yang kian mendesak. Sejak tahun 1952 lagi, kerajaan telah berusaha untuk menangani isu ini melalui penguatkuasaan undang-undang di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Namun begitu, ekoran masalah dadah yang semakin meruncing sehingga menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara, pada 19 Februari 1983, kerajaan telah mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara. Ironinya, berita terkini yang menggemparkan kita apabila Polis Persekutuan Australia (AFP) merampas dadah jenis heroin seberat 336 kilogram yang dianggarkan bernilai RM789.56 juta dalam sebuah kontena dari Malaysia ke Brisbane pada 13 Mac 2023. Bagaimanakah hal ini boleh berlaku?\nBegitu juga dengan masalah Ah Long yang tidak pernah selesai dan terus mengganas dengan perbuatan salah laku jenayah seperti mengugut, membakar, dan mengurung peminjam. Belum pun reda masalah ini, kini timbul pula masalah penipu (scammer) dalam talian yang terlibat\u00a0 dengan penjualan data peribadi dan jenayah komersial lain. Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan bahawa kes jenayah komersial pada tahun 2022 mencatatkan sebanyak 30 536 kes membabitkan kerugian berjumlah RM1.73 bilion.\nWalau bagaimanapun, berbanding dengan cabaran yang dinyatakan sebelum ini, rakyat Malaysia lebih bimbang terhadap kemasukan pekerja asing, pendatang tanpa izin dan pelarian yang berpusu-pusu masuk ke Malaysia. Kemasukan pekerja asing ini dianggap sebagai \u201clmbong emas\u201d bagi golongan yang berkepentingan namun mendatangkan pelbagai masalah terhadap rakyat tempatan.\nBerdasarkan pemerhatian, Malaysia dikatakan sebagai tempat lambakan pelarian daripada 50 buah negara, (Berita Harian 24 April 2022). Hal ini memberikan ancaman besar terhadap kedaulatan negara. Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al Mustafa Billah Shah ketika merasmikan pembukaan Penggal Kedua Sidang Parlimen Ke-15 pada bulan Februari lalu bertitah agar satu usaha berterusan dan bersepadu perlu dipergiatkan oleh kerajaan bagi memastikan negara terpelihara daripada sebarang bentuk ancaman termasuk pencerobohan pendatang tanpa izin. Menurut worldpopulationreview.com pula, Malaysia mencatatkan kemasukan warga asing 11 minit bagi setiap seorang. Bagaimanakah hal ini boleh berlaku?\nApabila kita cuba menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerja, maka kita akan membawa masuk beratus ribu orang pekerja dari luar bersama-sama dengan masalah, sikap dan perangai mereka. Hal inilah yang memberikan kesan negatif dan mengancam keharmonian masyarakat tempatan yang terdiri dari berbilang kaum dan hidup dalam keadaan aman dan damai.\nSebagai langkah mengatasi isu kekurangan tenaga kerja, kerajaan telah meluluskan kemasukan 500 000 orang pekerja asing secara berperingkat menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KSM). Menurut Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar, kemasukan pekerja asing itu khusus bagi lima sektor, iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran).\nRakyat Malaysia tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya rakyat asing dapat bekerja di Malaysia secara sah, mematuhi undang-undang negara serta menghormati adab dan budaya terhadap rakyat tempatan. Setelah bekerja dalam tempoh tertentu mereka perlu balik ke negara asal dan tidak mengambil kesempatan untuk menetap terus di negara ini sehinggu berlaku lambakan populasi rakyat asing di Malaysia.\nMengamalkan Budaya Setempat\nPenulis juga berpengalaman bekerja di luar negara. Apabila jawatan sebagai ahli kimia penyemperitan (extrusion chemist) diiklankan selama setahun di New Zealand, tidak ada rakyat tempatan yang berminat atau yang layak. Penulis memilih untuk memohon jawatan tersebut. Sepanjang bekerja di New Zealand, penulis membayar cukai pendapatan dan lain-lain bayaran yang dikenakan. Penulis juga menjaga adab dan menghormati budaya mereka serta boleh tinggal bersama-sama komuniti mereka. \u00a0Penulis kembali ke Malaysia setelah tempoh perkhidmatan tamat dan hal ini tidak menimbulkan sebarang masalah terhadap rakyat negara tersebut.\nMalangnya hal ini tidak berlaku di Malaysia. Pada asalnya, mereka ini diperlukan untuk bekerja di sektor pembinaan, pertanian, penternakan dan sektor 3D (kotor, sukar dan bahaya), namun sedikit demi sedikit mereka mula membina komuniti dan menjalankan perniagaan. Bagi pekerja di sektor pembinaan pula mereka menjadi kontraktor untuk ubah suai dan membina rumah. Begitu juga dalam sektor pertanian, mereka mulai menceroboh tanah kerajaan atau menyewa tanah dan mengusahakan aktiviti pertanian dan hasil tersebut di pasarkan di pasar borong atau pasar tani.\nBagi pekerja Bangladesh, difahamkan bahawa bank di Bangladesh membiayai pinjaman sehingga RM25 000 sekiranya pekerja Bangladesh ini menjalankan perniagaan di Malaysia. Video yang tular di TikTok memberitahu pengusaha cuci kereta warga Bangladesh boleh meraih keuntungan perniagaan sekitar RM12 000 sebulan dan mereka tidak perlu membayar apa-apa cukai. Warga asing ini juga hanya akan menggaji warga mereka sahaja. Sebagai contoh restoran nasi Arab hanya mengambil pekerja daripada tukang masak hingga pelayan warga Arab sahaja.\nKegitan jenayah seperti pelacuran, kes jenayah berat, penyakit berjangkit, pemerdagangan manusia, setinggan, bilangan peminta sedekah yang semakin hari semakin bertambah, pergaduhan, mabuk, memandu tanpa lesen dan menjaga tempat letak kereta secara haram mulai meningkat tanpa disedari. Pendek kata lebih banyak mudarat daripada manfaat. Manfaat warga asing diperoleh oleh majikan yang menggaji mereka tetapi mudarat warga asing ditanggung oleh seluruh rakyat Malaysia.\nBegitu juga dengan pelarian Rohingya. Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf status pelarian Rohingya dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang tanpa izin (PATI) yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR). Hal ini berikutan Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status hak pelarian di negara ini. Walau bagaimanapun, kerajaan membenarkan mereka tinggal sementara di negara ini atas dasar kemanusiaan.\nKegiatan pendatang tanpa izin dan pelarian ini banyak dimuat naik di media sosial sehinggu menimbulkan kebimbangan rakyat Malaysia. Mereka telah mengambil kesempatan atas sikap baik, sikap tolak ansur rakyat Malaysia yang akhirnya memakan diri. Bukan hanya ingin mendapatkan pekerjaan di Malaysia tetapi mereka telah membina rangkaian perniagaan di negara ini.\nAnak Kecil Main Api\nTajuk lagu ini menginatkan kita bait-bait liriknya yang berbunyi, \u201cAnak kecil main api, terbakar hatinya yang sepi, air mata darah bercampur keringat, bumi dipijak milik orang. Nenek moyang kaya-raya, tergadai seluruh harta benda, akibat sengketa sesamalah kita, cinta lenyap di arus zaman.\u201d\nJika diperhalusi lirik lagu ini menggambarkan situasi sebenar yang dialami oleh rakyat Malaysia. \u00a0Jumlah tanah berstatus rizab Melayu hanya tinggal 12 peratus berbanding dengan lebih 50 peratus suatu ketika dahulu. Tanah rizab Melayu ini diambil dan dibangunkan dengan pelbagai projek. Walaupun termaktub dalam undang-undang (tanah rizab yang diambil) mesti diganti serta-merta, namun hal tersebut tidak berlaku dan tidak diambil berat. Begitu juga tanah adat Orang Asli.\nHari ini, cuba kita renungi bersama, di manakah kedudukan masyarakat Bumiputera Malaysia? Kedai runcit dikuasai oleh orang Aceh. Kedai makan tomyam dikuasai oleh orang Siam. Kedai karpet dikuasai oleh orang Pakistan, kedai kain dikuasai oleh orang Kemboja, kedai makan 24 jam dikuasai oleh Mamak. Pasar borong dikuasai oleh orang Bangladesh. Besi buruk dikuasai oleh orang Rohingya. Di manakah tempat kita di tanah air kita sendiri?" "Dividen Koop Sahabat 10 Peratus pada Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) mengumumkan pulangan dividen bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 sebanyak 10 peratus atau RM6.5 juta kepada 452 728 anggotanya berbanding RM 5.8 juta pada tahun 2021.\nPengerusi Koop Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor menyatakan bahawa Koop Sahabat turut mencatatkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM12.6 juta, melonjak 25 peratus berbanding RM10.1 juta pada tahun 2021. Prestasi tersebut merupakan komitmen Koop Sahabat dalam menjaga kebajikan anggotanya yang merupakan usahawan wanita dalam kalangan B40 dan dapat memberi keyakinan yang kukuh kepada bakal anggota daripada kalangan Sahabat Usahawan AIM.\nBeliau menambah pihaknya percaya perniagaan Koop Sahabat yang kini meliputi perkhidmatan kewangan seperti Ar Rahnu, pembangunan hartanah, pelaburan korporat, pelaburan strategik serta pelaburan dalam ekuiti awam akan terus berkembang dengan sokongan daripada anggotanya." "Perlis Sambut Baik Hasrat Kerjasama Wilayah Satun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima kunjungan sembah mengadap silaturahim oleh Pemangku Gabenor Wilayah Satun Thailand, Chatri Na Thalang di Galeri Diraja, Arau.\nDelegasi sebanyak sepuluh orang yang diketuai oleh Chatri itu mempersembahkan sendiri hasrat untuk membincangkan kerjasama dua hala dalam tempoh jangka pendek dan panjang yang boleh dipelopori antara negeri Perlis dengan Wilayah Satun kepada Tuanku Pemangku Raja.\nDYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra pula menzahirkan rasa sukacita dengan kehadiran delegasi dari Thailand ke negeri ini. Baginda berharap agar pertemuan ini akan menghasilkan suatu kata putus yang positif dan menguntungkan kedua-dua belah pihak serta lebih banyak lagi kerjasama seperti ini dapat dijalankan dengan para pemain industri yang meliputi pelbagai sektor dari semasa ke semasa.\nBaginda turut menyarankan agar diwujudkan kerjasama antara para usahawan Perlis dengan Satun melalui Dewan Perniagaan masing-masing bagi meluaskan lagi pasaran sedia ada. Di samping itu, potensi pelancongan juga boleh diterokai secara bersama termasuklah promosi destinasi menarik di Satun dan juga Perlis.\nYang mengiringi baginda dalam pertemuan tersebut termasuklah Menteri Besar Perlis, YB Mohd Shukri Ramli; Setiausaha Kerajaan Negeri, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof; dan Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Puteh Soraya A Rahman.\nTurut hadir, Pengarah Bahagian Pembangunan Wilayah, Kementerian Ekonomi, YBrs. Dr. Mohd Shaharin Umar dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), YBhg. Raja Datuk Azwane Raja Ariff." "InvestED Lahir Graduan Lebih Bersedia dalam Pasaran Modal \u2013 Pengerusi SC\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Program Graduan Pasaran Modal (CMGP) atau lebih dikenali sebagai \u201cInvestED\u201d akan membantu negara melahirkan graduan yang lebih bersedia untuk diserap ke dalam pasaran modal.\nInvestED merupakan program kolaborasi pertama antara SC, industri pasaran modal dan universiti yang diadakan secara kerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Bursa Malaysia serta pemain industri pasaran modal terkemuka.\nPengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Dato\u2019 Seri Dr. Awang Adek Hussin berharap inisiatif ini akan dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan dan membolehkan mereka mendapat pelbagai peluang pekerjaan dalam pasaran modal.\nBeliau menegaskan bahawa pelaburan dalam pendidikan serta pembangunan bakat merupakan agenda utama bagi SC dan pasaran modal kerana dengan kadar peralihan bakat yang tinggi terutamanya dalam industri seperti pasaran modal, tumpuan terhadap pembangunan bakat-bakat tersebut adalah amat penting.\n\u201cProgram ini diperkenalkan bagi membantu mengatasi masalah ketidaksepadanan bakat antara graduan dengan keperluan industri yang sedang mengalami peralihan ke dunia digital. Hal ini memperlihatkan bahawa pentingnya bantuan langkah terakhir (last mile) diberikan kepada graduan untuk mengawal masalah ini,\u201d katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan SC semalam.\nMenurut beliau, InvestEd adalah selaras dengan dasar kerajaan untuk memperkukuh sistem pendidikan tinggi melalui kerjasama antara sektor awam dengan sektor swasta demi melahirkan tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.\nSebanyak RM30 juta diperuntukkan oleh Dana Pembangunan Pasaran Modal (CMDF) bagi tempoh tiga tahun bermula tahun ini bagi menyediakan latihan tambahan kepada 9000 bakal graduan serta program penempatan berbayar kepada mereka yang terpilih.\nProgram ini dijangka membuka peluang pekerjaan kepada sebanyak 600 graduan dalam tempoh tiga tahun tersebut melalui penempatan pekerjaan dan latihan dalam pekerjaan yang disediakan oleh firma dalam industri pasaran modal di bawah Program Kepimpinan InvestED.\nSumber gambar: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia" "Ranking Daya Saing Global Malaysia Meningkat pada Tahun 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Global (WCR) 2023 meningkat lima anak tangga di kedudukan ke-27 berbanding ke-32 pada tahun lalu. Peningkatan kedudukan itu merupakan pengiktirafan terhadap usaha keseluruhan kerajaan Malaysia dalam mengukuhkan asas ekonomi, dasar dan inisiatif dalam meletakkan negara sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan, perniagaan serta perdagangan.\nMenteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan bahawa kedudukan tersebut menunjukkan Malaysia mencatatkan peningkatan dalam keempat-empat faktor daya saing, terhadap kesan pandemik, ketidaktentuan dan krisis ekonomi global, serta pelbagai cabaran domestik. Sementara itu, kedudukan WCR Malaysia dalam sub-faktor perundangan perniagaan meningkat daripada 50 pada 2022 kepada 45 pada 2023.\nBeliau menambah bahawa MITI percaya usaha untuk meningkatkan daya saing global Malaysia mesti bergantung kepada pendekatan seluruh negara dalam memuktamadkan dan melaksanakan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). Tambah beliau lagi, usaha itu harus berdasarkan strategi awam-swasta bersepadu yang memperkasakan semua pihak kepentingan utama seperti pelabur, perniagaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan rakyat dengan mengambil kira prinsip kemampanan dan keterangkuman yang menyeluruh.\nLaporan WCR Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) berdasarkan 336 kriteria daya saing yang dikategorikan kepada empat faktor iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur. Laporan yang meliputi 64 ekonomi itu memperincikan arah aliran daya saing negara berdasarkan prestasi keseluruhan, cabaran pada tahun tinjauan, fakta asas, landskap daya saing dan kedudukan kumpulan sebaya." "Operasi BNM Membantu Kadar Jangka Pendek Kekal Stabil\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kadar jangka pendek diunjur kekal stabil hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan. Mudah tunai dalam sistem konvensional dianggarkan RM49.33 bilion dan RM29.56 bilion dalam dana Islam.\nBank pusat akan mengadakan tender pasaran wang konvensional melibatkan sejumlah RM1.5 bilion selama tujuh hari dan satu tender Program Murabahah Komoditi RM100 juta bertempoh 14 hari. BNM juga akan menjalankan dua tender repo berbalik yang terdiri daripada tender RM1 bilion (30 hari) dan tender RM500 juta (92 hari).\nSelain itu, bank pusat turut mengumumkan ketersediaan repo berbalik, perjanjian jual dan beli semula serta kemudahan Murabahah Komoditi Bercagar untuk tempoh satu hingga tiga bulan. Pada pukul 4 petang, BNM akan menawarkan sehingga RM48.3 bilion bagi tender semalaman konvensional dan RM28.5 bilion untuk tender semalaman Murabahah." "IKR Membantu Pembangunan Projek Infrastruktur Kecil\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013\u00a0 Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli menyatakan bahawa kementeriannya telah membangunkan inisiatif kemudahan rakyat (IKR) dengan peruntukan sebanyak RM500 juta bagi membiayai pelaksanaan projek infrastruktur kecil di kawasan setempat.\nMenurut beliau, IKR merupakan bantuan kerajaan Persekutuan yang bertujuan untuk mendemokrasikan dana kerajaan dalam membiayai pelaksanaan projek kecil seperti membaik pulih dewan atau menutup jalan rosak yang akan dikawal selia oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).\nIKR juga tertakluk kepada beberapa kriteria, iaitu projek kecil yang dimohon harus memberikan manfaat segera kepada masyarakat, kos projek tidak melebihi RM200 000 dan projek berkenaan tidak bertindih dengan projek yang telah menerima kelulusan peruntukan daripada agensi lain.\nKebelakangan ini, peruntukan bagi projek penyelenggaraan semakin berkurangan berikutan peruntukan lebih tertumpu kepada tanggungan hutang dan projek besar.\n\u201cOleh sebab itu, dengan adanya IKR , Kementerian Ekonomi memperuntukkan lebih banyak dana untuk penyelenggaraan yang akan memberi impak segera kepada rakyat dan kemudahan awam, \u201d jelasnya dalam sidang media selepas melancarkan IKR di sini hari ini.\nTambah beliau lagi, sekurang-kurangnya 2500 projek kecil dapat dilaksanakan menerusi IKR dan pelaksanaannya akan dipantau rapi selain peruntukan akan ditambah sekiranya perlu. Pelaksanaan IKR ini juga bertujuan membantu kontraktor kecil seluruh Malaysia yang boleh menyiapkan projek mereka dengan segera antara tempoh dua hingga tiga bulan.\nPengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Batu ,Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Hafiz Solkapeli berkata IKR akan memberikan manfaat kepada pihak yang memerlukan infrastruktur kecil baharu yang perlu dibaiki seperti di kawasan perumahan mereka.\n\u201cKonsep IKR ini juga dilihat sama seperti projek mesra rakyat seperti membaik pulih surau, membaiki bilik komputer di sekolah dan sebagainya. IKR dilihat sebagai satu dana tambahan yang amat diperlukan untuk pembangunan infrastruktur, \u201d katanya." "KUSKOP Menyumbang RM38.7 Juta Geran dan Pembiayaan kepada Usahawan Negeri Sembilan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNilai \u2013 Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan sejumlah RM38.7 juta geran perniagaan serta kemudahan pembiayaan kepada usahawan dan koperasi Negeri Sembilan yang berdaya maju.\nGeran dan pembiayaan menerusi agensi di bawah KUSKOP, antaranya SME Corporation Malaysia, SME Bank, Amanah Ikhtiar Malaysia, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Tekun Nasional dan Bank Rakyat itu disempurnakan sempena Program Jelajah Usahawan dan Koperasi MADANI (PJUKM 2023) di Dataran Nilai. Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyatakan bahawa inisiatif berkenaan secara tidak langsung dapat memperkasakan agenda keusahawanan usahawan di peringkat negeri dan sekali gus memberi inspirasi kepada kumpulan usahawan lain.\nMajlis berkenaan diadakan bersempena dengan penganjuran Karnival Negeri Sembilan (NS Fest 2023) yang berlangsung selama empat hari sehingga Ahad ini. Antara pengisian utama program termasuklah Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) yang menawarkan barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak dan produk-produk koperasi pada kadar 20% -30% lebih rendah dari harga pasaran. Program itu selaras dengan usaha kerajaan membantu rakyat yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup." "Bahasa Melayu Mampu \u201cTerbang Tinggi\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur\u00a0\u2013\u00a0Kini terdapat 6000 bahasa yang masih diguna pakai di seluruh dunia tetapi hanya 20 bahasa sahaja yang diberikan taraf bahasa rasmi dan satu daripadanya ialah bahasa Melayu. Oleh itu, aspek keyakinan\u00a0perlu wujud dalam diri\u00a0rakyat Malaysia bagi memastikan bahasa Melayu mampu \u201cterbang tinggi\u201d\u00a0dan berada di kedudukan yang sepatutnya.\nDemikianlah antara perkongsian penting oleh panel jemputan menerusi slot Wawancara Layar Putih,\u00a0anjuran Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) pada hari semalam dengan tajuk \u201cBahasa Melayu \u2018Terbang Tinggi\u2019 di Serata Dunia\u201d. \u00a0Program tersebut menampilkan Prof. Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Pakar Psikologi Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman, Pensyarah Bebas, Penyair dan Penterjemah. Program ini dikendalikan sendiri oleh Encik Sakri Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah ITBM.\nMenurut Encik Sakri,\u00a0terdapat perkembangan positif terhadap bahasa Melayu belakangan ini khususnya setelah mendapat perhatian daripada pemimpin utama negara. Hal itu secara tidak langsung meningkatkan\u00a0keyakinan\u00a0rakyat Malaysia terhadap bahasa Melayu dan citra bahasa itu sendiri. Walaupun masih ada yang meragui akan kemampuan bahasa Melayu, beliau mengharapkan komitmen pelbagai pihak\u00a0bagi merealisasikan hasrat murni tersebut akan terus dapat dilaksanakan.\nSementara itu, Dr. Jessica berjaya mencuri perhatian pelayar dengan maklum balasnya yang menyebut bahawa tidak semestinya kita menggunakan artis ternama untuk memperkenalkan bahasa Melayu.\u00a0Golongan kurang upaya juga boleh diketengahkan\u00a0sebagai ikon bahasa ketika merujuk perkembangan pesat negara Korea yang telah melebarkan sektor kreatif mereka\u00a0yang membawa bahasa dan budaya Korea ke serata dunia. Dalam hal itu, Malaysia juga merasakan tempias budaya K-Pop\u00a0tersebut termasuklah\u00a0bahasa Korea itu sendiri.\nMenurut Dr. Raja Rajeswari pula,\u00a0citra keantarabangsaan bahasa Melayu era kini sudah\u00a0pun berlaku dengan pesatnya. Beliau\u00a0turut mengakui bahawa beliau antara individu yang dirujuk oleh pihak antarabangsa khususnya dalam usaha menterjemahkan puisi antarabangsa kepada bahasa Melayu dan sebaliknya.\nTerdapat laman web khusus yang telah dibina oleh pihak antarabangsa dengan menjadikan laman web ini sebagai pangkalan menghimpunkan puisi dari seluruh dunia termasuklah puisi berbahasa Melayu yang dihasilkan oleh penyair dari negara ini. Hal ini berlaku kerana keistimewaan yang terdapat pada metafora bahasa Melayu yang telah terbukti mempunyai keunikan tersendiri.\nKatanya lagi, metafora bahasa Melayu berbeza daripada bahasa Inggeris kerana diambil dari persekitaran, pemerhatian dan penglibatan orang Melayu yang sangat akrab dengan alam sekeliling. Hal ini bermakna bahawa bahasa Melayu mempunyai standard yang tinggi dalam menterjemahkan sesuatu puisi dan amat dikagumi oleh dunia.\nBeliau turut berpesan\u00a0kepada seluruh Keluarga Malaysia agar dapat membezakan antara kepentingan peribadi dengan negara. Menurutnya lagi, adalah\u00a0menjadi tanggungjawab seluruh entiti dalam negara ini tidak kira sesiapa\u00a0pun\u00a0wajib mengutamakan bahasa Melayu kerana bahasa Melayu\u00a0merupakan identiti diri dan nasional.\nBerdasarkan daripada perkongsian itu juga, Dr. Jessica menjelaskan bahawa seluruh Keluarga Malaysia perlu diberi pendedahan\u00a0yang lebih meluas\u00a0tentang kekuatan bahasa Melayu dan perlu bertanggungjawab untuk terus memperkasakannya\u00a0ke peringkat antarabangsa. Di peringkat universiti\u00a0juga\u00a0memerlukan pemerkasaan yang lebih banyak melalui program dan aktiviti yang boleh membawa bahasa Melayu ke tahap yang lebih tinggi.\nSehubungan dengan itu,\u00a0beliau turut mencadangkan agar ITBM diberikan tanggungjawab khusus dalam menyemarakkan lagi pemerkasaan dalam usaha terjemahan dan cara ini amat berkesan untuk meningkatkan citra bahasa Melayu di peringkat pengajian tinggi." "Tarikh Akhir Pengemukaan Borang Nyata bagi Pembayar Cukai yang Menjalankan Perniagaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin memaklumkan bahawa tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata (BN) Tahun Taksiran 2022 (TT 2022) bagi pembayar cukai yang menjalankan perniagaan adalah seperti yang berikut:\n\n\u00a0\nPembayar cukai boleh merujuk kepada Program Memfail BN bagi tahun 2023 yang boleh diakses dan dimuat turun menerusi pautan yang berikut:\ni. Bahasa Melayu:\nhttps://www.hasil.gov.my/media/lq5fu3zd/20230324-program-memfail-borang-nyata-bn-bagi-tahun-2023.pdf\nii.Bahasa Inggeris:\nhttps://www.hasil.gov.my/media/wm2oviph/20230324-return-form-filing-programme-for-the-year-2023.pdf\nPembayar cukai\u00c2\u00a0 disarankan untuk mengemukakan BN dan membayar baki cukai pendapatan mereka dalam tempoh yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang penalti dan kenaikan cukai dikenakan. Pembayar cukai juga dinasihatkan untuk mengisi maklumat diri dan perbankan yang tepat serta terkini bagi membantu kelancaran proses bayaran balik cukai (sekiranya ada).\nSebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada kami melalui:\na) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara)\nb) HASiL Live Chat\nc) Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/" "Pelepasan Taksiran Cukai Pendapatan kepada Pendeposit Simpan SSPN hingga Tahun 2024\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) akan terus menikmati pelepasan taksiran cukai pendapatan hingga 2024 ke atas simpanan bersih hingga RM8000 setahun setiap seorang sekiranya membuat taksiran cukai secara berasingan.\nPengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim berkata insentif berkenaan menjadikan Simpan SSPN sebagai satu-satunya produk simpanan yang memberikan kelebihan berbeza berbanding dengan simpanan lain.\nSaya mengucapkan terima kasih dan merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan melalui Simpan SSPN ini dilanjutkan hingga 2024.\nBeliau optimis bahawa insentif ini akan meningkatkan motivasi serta galakan kepada ibu bapa untuk terus membuat simpanan bagi tujuan pendidikan dan masa depan anak-anak sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pinjaman PTPTN.\nTambahnya, rakyat perlu mengambil peluang ini untuk membuat simpanan melalui Simpan SSPN dan ibu bapa yang ingin membuka atau membuat penambahan simpanan boleh melakukannya secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN dengan lebih mudah, cepat dan selamat.\nTerdahulu, Perdana Menteri, YAB Dato\u00e2\u20ac\u2122 Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan Simpan SSPN dilanjutkan hingga 2024 pada Mac lepas.\nPendeposit Simpan SSPN turut menikmati keistimewaan lain seperti perlindungan takaful, Geran Sepadan hingga RM10 000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen kompetitif, serta simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.\nSetakat Mei lalu, jumlah terimaan deposit Simpan SSPN adalah sebanyak RM15.28 bilion melibatkan 5.92 juta akaun." "CEDAR Terajui Program Pembangunan Kapasiti Keusahawanan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengamanahkan Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) untuk menerajui program pembangunan kapasiti keusahawanan. CEDAR merupakan anak syarikat Small Medium Enterprise Development Bank (M) Bhd. (SME Bank).\nMenterinya, YB Datuk Ewon Benedick berkata, sebanyak RM11.5 juta diperuntukkan untuk menjalankan program tersebut yang meliputi skim kelestarian bernilai RM10 juta; program pembangunan kapasiti usahawan industri halal bernilai RM400 000 untuk membantu pematuhan dalam pensijilan halal; program rintis pemantapan dan pendaftaran harta intelek dengan dana sebanyak RM100 000 dan skim juara lestari berjumlah RM1 juta.\nTambah beliau lagi, kementerian itu juga menyedari bahawa kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh CEDAR amat diperlukan demi memacu pencapaian dalam sektor ini. Demikian penjelasan beliau kepada pemberita selepas melancarkan program pembangunan sosial di sini hari ini bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-10 CEDAR.\nUsaha berterusan SME Bank untuk terus membangunkan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) melalui CEDAR menjadi bukti bahawa bank prihatin dan sedar tentang keperluan usahawan selain mendapatkan pembiayaan.\nMenurut beliau lagi, dalam pengumuman Belanjawan 2023, sebanyak RM21 juta diamanahkan kepada SME Bank khusus untuk menyokong pembangunan perusahaan sosial (SE) serta rangka tindakan keusahawanan sosial 2030 (SEMy2030)\u00a0 juga telah diperkenalkan sebagai rujukan dan kerajaan mahu memastikan keusahawanan sosial bukan hanya trend perniagaan yang disesuaikan dengan faktor semasa.\nSelain itu, keunikan SE termasuklah sudut pulangan perniagaan mereka menyasarkan untuk memberi kesan yang positif terhadap isu sosial dan pada yang sama membawa kepada hasil kewangan.\nMenteri KUSKOP itu juga menjelaskan bahawa Malaysia perlu memulihkan dan mengarusperdanakan SE dengan menyediakan sokongan seperti pembiayaan, akreditasi dan program peningkatan kemahiran.\nHarapan beliau agar aspirasi kerajaan untuk memperkasakan PMKS, termasuk SE dapat disampaikan dengan baik melalui kerjasama erat dan inisiatif berterusan antara KUSKOP dan agensinya. Impak dan nilai positif yang yang disampaikan oleh SE penting demi memberikan keyakinan kepada orang awam, pembiaya dan pelabur untuk terus menyokong pertumbuhan SE. Kini, KUSKOP mencatatkan 511 SE yang berdaftar dan 59 daripadanya berada di bawah kategori SE Bertauliah dan baki didaftarkan di bawah kategori SE Asas.\nUntuk rekod, CEDAR telah ditubuhkan pada tahun 2013 dengan visi sebagai pusat kecemerlangan pembangunan dan transformasi usahawan dan turut menyokong aspirasi pembiayaan SME Bank serta berjaya memperkaya lebih 75 000 peserta program melalui 460 bimbingan yang berteraskan usahawan sejak penubuhannya." "Pelbagai Syarikat Sertai MATTA Fair Kedah 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nSungai Petani \u2013 MATTA Fair 2023 berlangsung selama tiga hari bermula pada 23 Jun hingga 25 Jun 2023 di kompleks beli-belah, Central Square Sungai Petani, Kedah. Inilah julung-julung kalinya pameran seumpama itu diadakan di negeri Kedah.\nPengerusi MATTA Kedah/Perlis, P. Subramaniam berkata, pameran yang diadakan berjaya mengeratkan hubungan baik para petugas syarikat pelancongan di negara ini selepas pandemik COVID-19. Menurutnya, langkah tersebut memberikan banyak manfaat dalam meningkatkan jualan perniagaan masing-masing.\nExco Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan Negeri Kedah, Encik Mohd Firdaus Ahmad ketika merasmikan pameran itu semalam berkata, orang ramai perlu berhati-hati membuat pembelian pakej percutian atau umrah agar tidak terpedaya dengan tawaran yang ada termasuklah daripada penipu (scammer).\n\u201cSebelum membuat sebarang pembayaran, pastikan syarikat itu wujud dan ada lesen serta mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan,\u201c katanya.\nSebanyak 32 syarikat telah menyertai MATTA Fair Kedah pada kali ini yang menawarkan pelbagai jualan pakej menarik dan murah, termasuklah pakej umrah, perhotelan dalam negeri dan luar negara serta tawaran lain dalam usaha merancakkan industri pelancongan negara.\nYang turut hadir bersempena dengan pameran tersebut termasuklah Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Encik Shahrul Aman Sabir Ahmad, Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), Dr. Mohd Amin Ali dan Timbalan Pengerusi Pelancongan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Dr. Azmil Munif Mohd Bukhari." "Sesi Libat Urus Sistem E-invois Diteruskan ke Zon Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) telah meneruskan usaha untuk memberikan kefahaman mengenai pelaksanaan sistem e-invois kepada hampir 200 orang peserta yang terdiri daripada para pengamal percukaian, badan profesional dan media Zon Sarawak di Hotel Pullman Kuching, Sarawak. YBrs. Encik Hisham Rusli, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) menyatakan bahawa perniagaan yang mencapai nilai ambang jualan melebihi RM100 juta setahun akan menjadi kumpulan sasaran pertama yang terlibat dengan pelaksanaan e-invois HASiL secara berperingkat mulai tahun 2024 yang pelaksanaannya adalah mandatori untuk semua perniagaan menjelang tahun 2027 nanti.\nPelaksanaan e-invois ini merupakan salah satu usaha ke arah Compliance-by-Design bagi meningkatkan tahap pematuhan cukai secara menyeluruh dan automatik yang dibangunkan berdasarkan pengalaman dan amalan terbaik pentadbir percukaian antarabangsa. Sehingga kini, sesi libat urus mengenai pelaksanaan e-invois telah diadakan di Lembah Klang pada 22 Mei 2023 dan di Zon Utara pada 9 Jun 2023 yang lalu. Semoga dengan penganjuran sesi libat urus siri ketiga ini sedikit sebanyak dapat memberikan manfaat kepada peserta Zon Sarawak mengenai pelaksanaan e-invois yang akan mempermudah proses pematuhan percukaian selaras dengan peranan HASiL sebagai pemudah cara pematuhan atau facilitator of compliance.\nSebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan dengan perkara ini boleh dimajukan kepada HASiL melalui:\n(a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara)\n(b) HASiL Live Chat; dan\n(c) Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL menerusi pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public" "Penamatan Capaian E-Borang melalui E-Filing bagi Tahun Taksiran 2012 hingga 2015\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin memaklumkan bahawa capaian e-Borang mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015 bagi kategori individu, majikan, perkongsian, pertubuhan dan syarikat yang melebihi tempoh tujuh tahun akan ditamatkan mulai 1 Julai 2023.\nKemudahan e-Filing bagi tahun taksiran berkenaan tidak disediakan berikutan statistik penerimaan e-Borang bagi tahun taksiran 2012 hingga 2015 melalui e-Filing yang menurun pada setiap tahun serta rujukan amalan terbaik agensi pentadbir cukai luar negara di mana kebanyakannya hanya menyediakan sistem e-Filing bagi tempoh lima tahun taksiran sahaja.\nOleh itu, pengemukaan Borang Nyata (BN) bagi tahun taksiran 2012 hingga 2015 selepas tarikh yang dinyatakan boleh dilakukan dengan menggunakan borang kertas. Borang ini boleh dimuat turun melalui capaian di portal rasmi HASiL di https://www.hasil.gov.my/ > Borang > Muat Turun Borang > Individu/Majikan/Selain Syarikat dan Selain Individu/Syarikat.\nSebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan dengan perkara ini boleh dimajukan melalui:\n(a) HASiL Care Line di talian 03-8911 1000/+603-8911 1100 (luar negara)\n(b) HASiL Live Chat\n(c) Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas\nhttps://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/" "Campur Tangan BNM Bendung Pergerakan Mata Wang Asing\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bank Negara Malaysia (BNM) akan campur tangan dalam pasaran pertukaran asing bagi membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan mengikut mandatnya.\nPenolong Gabenor BNM, Adnan Zaylani menyatakan bahawa walaupun nilai ringgit akan terus ditentukan oleh pasaran, bank pusat menjangkakan langkah-langkah yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan untuk terus mengukuhkan ekonomi dapat membantu memastikan ringgit mencerminkan asas negara dengan lebih baik.\n\u201cMeskipun ringgit terus dipengaruhi oleh perkembangan global, unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berada pada julat empat hingga lima peratus serta pembaharuan struktur dan usaha penggabungan fiskal oleh kerajaan adalah faktor penyokong bagi ringgit,\u201d kata beliau dalam kenyataan yang dibuat bersempena\u00a0 dengan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) bagi membincangkan perkembangan terkini pasaran kewangan yang mempengaruhi kadar pertukaran ringgit.\nTambah beliau lagi, ahli FMC juga membincangkan hasil pemerhatian bahawa syarikat korporat dan pengeksport telah mengekalkan lebih banyak hasil dalam mata wang asing, seperti yang ditunjukkan oleh peningkatan baki akaun mata wang asing yang berkemungkinan menyebabkan ketidakseimbangan dalam aliran pasaran.\nBeliau yang merupakan Pengerusi FMC berkata, pengurusan risiko tukaran asing, syarikat korporat dan pengeksport digalakkan untuk memanfaatkan kadar pertukaran yang menarik dalam pengurusan imbangan mata wang asing mereka.\nSementara itu, Presiden Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia (FMAM), Chu Kok Wei dalam kenyataan yang sama berkata, pasaran kewangan di Malaysia terus beroperasi secara teratur dan kekal kondusif bagi melaksanakan keperluan pelanggan.\n\u201cKami mengalu-alukan panduan BNM mengenai ringgit dan perkembangan pasaran terkini. Kami akan terus menyokong usaha bank pusat untuk pasaran dalam negeri,\u201d katanya.\nPada masa hadapan, sebagai tambahan kepada asas ekonomi Malaysia yang kukuh, FMC berpendapat bahawa penjelasan lanjut tentang kadar terminal Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) serta kemungkinan tanda positif berikutan rangsangan dari China berkemungkinan dapat memberikan sokongan terhadap ringgit dan mata wang Asia secara amnya.\nUnjuran terkini oleh penganalisis dan pakar ekonomi terus menunjukkan pemulihan menyeluruh berbanding dengan dolar AS menjelang akhir tahun, pada purata 4.56 berbanding dengan dolar pada suku ketiga dan 4.50 pada suku keempat." "Pentingnya Membuang Plak Gigi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cGigi cantik, senyuman menawan\u201d. Pasti kita sering mendengar ucapan ini dimana kesihatan gigi semestinya akan memberikan senyuman yang lebih manis. Bayangkan pula wajah yang cantik, senyuman memikat namun terserlah sebaris gigi yang rosak, ditambah pula dengan warna kehitaman atau kekuningan, tentu tidak sempurna bukan?.Dalam konteks perhubungan sosial hari ini, penampilan pertama sangatlah penting dalam menyerlahkan personaliti seseorang. Ini secara tidak langsung akan menaikkan lagi keyakinan diri apabila berada dikhalayak ramai.\nBagi yang beragama Islam, Nabi Muhamad SAW pernah bersabda \u201cJika tidak menyusahkan ke atas umatku, aku ingin menyuruh mereka bersugi (menggosok gigi) setiap kali mereka hendak melakukan solat\u201d (Hadis riwayat Muslim). Di sini jelas bahawa kepentingan membersihkan mulut dengan bersugi atau bersiwak adalah suatu perbuatan yang dianggap mulia dalam Islam. Alat yang biasanya digunakan untuk bersugi ialah tiap-tiap sesuatu yang suci dan kesat seperti berus gigi, kayu araak (siwak), rotan manggar kelapa dan sebagainya.\u00a0 Menurut Aisyah R.A. pula \u201cSesungguhnya Nabi SAW bersabda bersugi itu membersihkan mulut dan mendapat redha dari Tuhannya\u201d (Hadis riwayat Baihaqi). Malah agama lain turut menitikberat penganutnya menjaga kesihatan termasuk kesihatan gigi.\nJadi adakah kesihatan gigi akan mengambarkan kesihatan jantung? Jawapannya ialah betul. Secara teorinya, dengan penjagaan gigi dan kesihatan mulut dengan baik, seseorang dapat mengelakkan pengumpulan plak. Apakah plak? Plak adalah sekumpulan bakteria yang tidak kelihatan dan membiak serta melekat terutamanya pada celahan gigi yang akhirnya akan menjejaskan kesihatan jantung. Menurut Dr Arunee, mantan presiden Persatuan Pergigian Malaysia, menjelaskan bahawa gingivitis adalah peringkat awal penyakit gusi akibat penghasilan plak yang tidak dibuang dengan cara yang sepatutnya dan jika dibiarkan, plak ini akan berkumpul hari demi hari. Lantas, gingivitis akhirnya mengakibatkan periodontitis iaitu sejenis penyakit gusi kronik yang apabila tidak dirawat boleh menyebabkan kehilangan gigi seperti\nBerdasarkan kajian saintifik pula, pada tahun 2005, iaitu daripada dua kajian saintifik daripada Journal of Periodontology, para penyelidik berjaya membuktikan bahwa jumlah bakteria plak yang terdapat disekitar gigi dan pada poket periodontal menyumbang kepada risiko serangan sakit jantung. Dalam kajian pertama, saintis melakukan kajian terhadap 150 orang pesakit yang telah dikenalpasti pesakit periodontitis dan kebanyakannya menderita akibat penyakit serangan sakit jantung. Manakala dalam kajian kedua pula, para penyelidik mendapati bahawa DNA bakteria plak bakteria periodontal yang terdapat di gigi boleh dijumpai di arteri jantung pesakit.\nSeterusnya, kita undur lagi sedikit masa iaitu pada tahun 1998, kajian turut mendapati plak gigi berkait rapat dengan penyakit jantung. Menurut kajian Paula yang telah diterbitkan didalam jurnal Current Opinion in Microbiology mendapati bakteria yang terdapat pada gigi berupaya menyebabkan penyakit endokarditis iaitu radang pada endokardium pada bahagian jantung. Endokarditis biasanya berlaku apabila bakteria yang terdapat pada gigi memasuki aliran darah ke jantung. Ini biasanya terjadi apabila berlaku pendarahan ketika proses mengosok gigi atau mengunyah makanan yang keras sehingga mencederakan gusi. Kesan kemasukan bakteria ini dimana ia berupaya berkumpul dan menbiak disaluran didalam jantung dan menyebabkan keradangan pada endokardium jantung dan injap jantung.\nPenyelidikan diatas turut disokong oleh Vincent J Iacono, bekas presiden The American Academy of Periodontology. Para penyelidik ini menambah bahawa keradangan akibat plak bakteria periondontal menyebabkan pembuluh darah disekitar gusi akan terbuka dan akhirnya membolehkan bakteria daripada sekitar gigi untuk memasuki ke aliran darah dan menyerang dikawasan ke bahagian lain pada tubuh seperti jantung dengan mengakibatkan inflamasi pada arteri jantung dan seterusnya mengakibatkan serangan sakit jantung. Menurutnya lagi, persekitaran gigi kita sebagai hulu sungai dan jika kita menjadikan ia tempat pembuangan sampah dengan membiarkan pembentukan plak berterusan berlaku, maka kita tidak perlu terkejut jika hilir sungai (jantung) akan tercemar dengan sampah pada masa akan datang.\nSelain itu, kajian oleh Duggal pada tahun 2003 bertajuk \u201dRole of dental plaque\u201d mendapati plak gigi terhasil daripada aktiviti bakteria yang terdapat pada gigi dan persekitaran didalam mulut dan bakteria ini menjadikan baki makanan yang terlekat pada celahan gigi sebagai sumber makanan dan lama-kelamaan menyebabkan pengumpulan plak pada gigi. Kesan lain plak pada gigi ialah plak gigi akan mempercepatkan proses dimineralisasi iaitu proses penghakisan pada gigi dan ia akan berterusan berlaku selain plak ini tidak dibuang dengan betul .\nDalam kajian lain oleh penyelidik Amol Ashok dari Chicago Medical School pada tahun 2007 daripada jurnal bertajuk \u201cThe prevalence and incidence of coronary heart disease is significantly increased in periodontitis: A meta-analysis.\u201d membuktikan bahawa penyakit periodontitis memang merupakan antara faktor risiko utama dalam menyumbangkan kepada penyakit jantung konorari. Dengan mengamalkan kesihatan gigi yang baik bagi mengelakkan pembentukan plak, maka risiko akan berkurangan untuk mendapat penyakit jantung konorari. Jadi, apakah langkah pencegahan yang baik dan optimun dalam menjaga kesihatan gigi?\nDalam konteks mencegah, ia boleh dibahagikan kepada individu dan masyarakat. Bagi individu, masing-masing perlu menyedari bahawa penjagaan gigi memerlukan pendekatan dan inisiatif yang pelbagai untuk diri sendiri. Ini kerana gigi memenuhi kira-kira 23% peratus ruang mulut kita. Dengan menggosok gigi bermakna hanya satu perempat bahagian mulut sahaja dibersihkan, ini tidak termasuk di celah-celah gigi dan kawasan yang sukar dicapai oleh berus gigi. Jadi, langkah pencegahan tambahan diperlukan seperti mengunakan ubat kumur antiseptik khas untuk perlindungan bagi gigi, menggunakan berus gigi yang sesuai dan kerap memberus gigi terutamanya selepas makan bagi mengelakkan pembetukan plak. Selain itu, diet pemakanan yang baik turut membantu mengurangkan pembentukan plak dimana mengurangkan makanan yang manis dan memakan banyak buahan dan sayuran. Perjumpaan bersama-sama doktor gigi juga penting sekurang-kurangnya enam bulan sekali demi memastikan kesihatan gigi boleh dipantau oleh pakar pergigian dan boleh memberikan nasihatan dan langkah pencegahan awal sebelum terlambat dan menyebabkan peratusan untuk mendapat penyakit jantung lebih rendah." "10 Contoh Fizik Dalam Kehidupan Kita\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTerdapat banyak peristiwa menarik yang berlaku dalam kehidupan kita yang dapat dikaitkan dengan fizik. Peristiwa ini berlaku di sekeliling kita sama ada kita sedar atau tidak. Adakah perasaan ingin tahu akan mendorong anda untuk bertanya apakah yang sedang berlaku dan bagaimana ia berlaku?\nSlot ini akan menerangkan keajaiban untuk semua soalan ini dan perkaitannya dengan fizik Mari kita lihat 10 contoh terdekat dalam kehidupan kita yang dapat dikaitkan dengan fizik bermula daripada anda bangun tidur.\nBunyi deringan daripada jam loceng membantu anda untuk bangun pagi seperti yang dijadualkan. Bunyi ini terhasil daripada jam loceng adalah berdasarkan prinsip fizik, iaitu mekanik kuantum. Jam menandakan masa menggunakan arus elektrik ulang alik yang terhasil daripada palam dinding yang mana direkabenutk untuk berayun tepat 60 kali per saat. Arus ulang alik tersebut menggunakan konsep kuantum fizik. Kuantum fizik ini sangat berharga untuk pemproses yang mengubah arus ulang alik daripada palam dinding kepada isyarat yang memberikan input kepada paparan digital jam tersebut.\nSeusai bangun pagi, anda pasti akan bersiap sama ada ke sekolah, universiti atau pejabat. Anda pasti akan menyeterika baju anda dengan menggunakan seterika. Di sini, Fizik memainkan peranan penting. Seterika stim adalah satu mesin yang menggunakan banyak aplikasi fizik untuk ia berfungsi. Prinsip fizik yang utama dalam aplikasi ini adalah haba. Haba dalam termodinamik adalah sejenis tenaga yang dipindahkan daripada bahan yang lebih panas kepada bahan yang lebih sejuk. Kerja menyeterika ini menjadi lebih mudah dengan adanya tapak besi yang dapat mengalirkan haba untuk proses ini.\nKini, anda dah bersedia untuk ke sekolah, universiti atau pejabat dengan apa sahaja medium pengangkutan. Semestinya anda akan berjalan beberapa tapak sebelum menaiki sebarang pengangkutan. Anda boleh berjalan dengan mudah kerana aplikasi fizik semasa berjalan. Geseran yang baik antara tapak kasut dan permukaan jalan membolehkan anda berjalan tanpa licin. Walaubagaimanapun, jika terdapat kulit pisang atau anda terpijak objek yang licin, anda pasti akan jatuh serta merta. Apakah yang menyebabkan anda terjatuh? Ia adalah disebabkan kurangnya geseran antara tapak kasut anda dengan permukaan jalan.\nTidak kira sama ada anda di sekolah, univesiti atau pejabat, pena mata bulat adalah teman sejati anda. Bagaimanakah anda menulis di atas kertas dengan menggunakan pena mata bulat? Dalam kes ini, konsep graviti memainkan peranan penting. Apabila anda menggerakkan pen di atas kertas, mata pen tersebut bergerak dan daya graviti memaksa dakwat pada pena mata bulat untuk turun ke bawah dan dipindahkan di atas kertas. Inilah hasil tulisan dan lakaran pada kertas!\nApabila anda bosan, kebanyakan daripada kita akan mendengar muzik menggunakan fon telinga. Pernah anda terfikir bagaimana fon telinga berfungsi? Sekali lagi, fizik membuktikan keberkesanannya. Fon telinga\u00c2\u00a0 menggunakan konsep magnet dan gelombang bunyi. Apabila anda menyambungkan fon telinga pada peralatan sama ada komputer, telefon bimbit atau alat elektronik yang lain, magnet pada fon telinga akan membentuk medan elektromagnet yang mana akan menghasilkan gelombang bunyi. Nah, disinilah terhasilnya muzik kegemaran anda!\nPernah anda terfikir prinsip apakah yang digunakan oleh tali pinggang keledar kereta anda? Sekali lagi fizik digunakan. Apabila anda memasang tali pinggang keledar kereta anda, ia berfungsi menggunakan konsep inersia. Inersia adalah rintangan objek terhadap sebarang perubahan halaju. Jika kereta berlanggar, tali pinggang keledar kereta akan mengelakkan badan anda daripada bergerak ke arah hadapan; badan anda rintang untuk diberhentikan kerana inersia gerakan.\nFenomena swafoto telah melanda kehidupan setiap orang tanpa mengenal lapisan umur. Anda sudah pasti antara salah seorang yang gemar berswafoto. Lensa yang digunakan pada kamera berfungsi berdasarkan prinsip Optik. Set lensa kanta cembung membolehkan kamera mengambil gambar anda secara swafoto.\nSel telefon telah menjadi satu keperluan yang penting dalam kehidupan manusia kini. Agak sukar untuk melihat manusia tanpa sel telefon masing-masing. Adakah anda tahu bagaimana sel telefon berfungsi? Ia berfungsi berdasarkan prinsip elektrik dan elektromagnet yang mengalunkan corak elektrik dan magnetnya untuk membolehkan pelbagai aplikasi dilakukan dengan menggunakan sel telefon.\nKereta, sel telefon, mainan, dan pelbagai barang elektronik menggunakan bateri. Bateri berfungsi menggunakan prinsip kapasitans. Sejak kurun ke-18, kapasitor telah digunakan untuk menyimpan tenaga elektrik. Benjamin Franklin adalah saintis pertama yang telah memperkenalkan frasa bateri untuk beberapa siri kapasitor dalam aplikasi penyimpanan tenaga.\nUntuk memeriksa kenderaan yang melebihi kelajuan yang ditetapkan, polis menggunakan konsep Radar Doppler. Radar Doppler berfungsi dengan menggunakan prinsip kesan Doppler. Kesan Doppler ini mengubah nada bunyi apabila sumber bunyi bergerak relatif kepada pendengar. Hal ini kerana frekuensi gelombang bunyi berubah apabila sumber bunyi bergerak lebih dekat atau lebih jauh daripada pendengar." "Sokongan Pindaan Akta DBP \u2013 Pengerusi Lembaga Pengelola DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menghargai ucapan penggulungan YAB Dato\u2019 Seri Ismail Sabri Yaakob, Naib Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang juga Perdana Menteri, dalam Perhimpunan Agung UMNO yang mencadangkan kerajaan agar meminda Akta DBP untuk membolehkan penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, termasuk di Pihak Berkuasa Tempatan.\nDBP telah mengemukakan pindaan Akta DBP dalam tiga perkara utama. Pertama, pemberian kuasa penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, khasnya Perkara 152(6) yang memperuntukkan penggunaan bahasa Melayu dalam pentadbiran kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.\nKedua, peruntukan yang membolehkan DBP mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu di peringkat antarabangsa secara yang berasaskan undang-undang sah walaupun DBP sejak tahun 1980-an telah melaksanakan pengembangan bahasa dan persuratan Melayu di peringkat dunia. Pindaan aspek pengantarabangsaan juga berkaitan rapat\u00a0 dengan kelulusan Jemaah Menteri menubuhkan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) pada tahun 1997, dengan DBP sebagai Urus Setianya.\nPindaan ketiga\u00a0berkaitan dengan peruntukan yang membolehkan DBP menubuhkan perbadanan agar fungsi perniagaan DBP dapat digerakkan dengan lebih berkesan. Sebagai badan berkanun, DBP hanya menerima peruntukan emolumen daripada kerajaan dan perlu menjanakan pendapatan untuk melaksanakan program perancangan bahasa, persuratan dan penerbitan. Dengan kelulusan pindaan itu, DBP dapat menyumbang kepada kerajaan dalam aspek kewangan negara.\nDBP yakin bahawa iltizam kerajaan dalam usaha mengangkat bahasa dan persuratan Melayu di peringkat negara dan antarabangsa menjadi asas penting pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan sebagai salah satu dasar utama negara. Di samping itu, kesungguhan Perdana Menteri untuk melaksanakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi di peringkat antarabangsa dapat meningkatkan imej dan maruah negara di mata dunia. Semoga iltizam Perdana Menteri disertai oleh semua pemimpin lain.\nPengerusi Lembaga Pengelola DBP,\n(Merangkap Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM)" "\u201cEh, Ada Robot di dalam Pasar?\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nIPOH:\u00a0Pasar Ayam Amanjaya, Ipoh menjadi pasar pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi robotik dalam menyelesaikan isu kebersihan dan pengangkutan barang dalam kawasan pasar.\n\nProjek kerjasama strategik antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu merupakan projek rintis dalam aplikasi robotik dan kecerdasan buatan (AI).\nMenteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, ia juga bertepatan dengan keperluan terhadap perubahan cara hidup norma baharu ekoran penularan COVID-19.\nSebanyak tiga jenis robot digunakan di Pasar Ayam, Amanjaya iaitu robot penghantaran untuk mengangkut barang, robot pengangkut sampah untuk \u00a0mengutip sisa dan robot pembersih lantai untuk membersihkan lantai.\nKetiga-tiga robot itu dibangunkan oleh dua syarikat tempatan, Ideasparq Robotics Sdn. Bhd. dan Akar Indah Engineering Sdn. Bhd. dengan kerjasama MTDC." "Mengintai Capella di Langit\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nPara peminat dan pengkaji astronomi jangan lepaskan peluang keemasan menyaksikan sebutir bintang yang sangat terang pada bulan Mac ini. Langit pada bulan Mac akan dihiasi dengan beberapa buruj. Langit utara akan dihiasi dengan buruj Ursa Major, Auriga dan Leo. Bentuk buruj Ursa Major adalah seperti gayung yang menjadi panduan arah utara. Terdapat satu bintang yang sangat terang dalam buruj Auriga. Bintang ini dikenali sebagai Capella. Sementara buruj Gemini dan Orion akan berada tinggi di tengah langit pada awal malam.\n(Sumber: Dr. Kassim Bahali, Felow Institut\u00a0Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia)." "Minggu Sains Negara 2021 Secara Maya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nMengambil kira kepentingan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sains, teknologi dan inovasi dalam menjayakan agenda menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi, MOSTI meneruskan pelaksanaan Minggu Sains Negara pada tahun ini.\u00a0Minggu Sains Negara 2021 akan dianjurkan secara maya seperti tahun 2020 disebabkan oleh pandemik COVID-19.\nProgram yang bertemakan \u201cSains untuk Kesihatan\u201d dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ini akan berlangsung dari 1 hingga 7 April 2021 bersempena dengan\u00a0sambutan World Science Day yang dianjurkan oleh United Nations Organization for Education, Science and Culture (UNESCO) semenjak tahun 2002. Hari Sains Dunia turut diamalkan di beberapa buah negara, antaranya termasuklah Afrika Selatan, China, Kanada, Norway, dan United Kingdom. Negara India dan Thai pula memperuntukkan satu hari sahaja bagi sambutan Hari Sains Dunia.\nPemilihan tema Minggu Sains Negara 2021\u00a0yang menepati senario semasa dunia bertujuan memperlihatkan peranan dan komitmen MOSTI dalam membendung pandemik COVID-19 dan pelaksanaan transformasi negara ke arah negara berteraskan teknologi dan sains selari dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021\u20132030.\nPenganjuran Minggu Sains Negara merupakan inisiatif MOSTI untuk menyemarakkan aktiviti inovasi dan kreativiti negara yang menggariskan pelaksanaan pelbagai inisiatif, program dan aktiviti dari tahun 2021 hingga tahun 2030. Panganjuran Minggu Sains Negara juga adalah selari dengan keputusan Jemaah Menteri pada 13 Disember 2017 sebagai punca kuasa agar penganjuran Minggu Sains Negara dilaksanakan pada minggu pertama bulan April setiap tahun di seluruh negara.\nPandemik COVID-19 yang melanda Malaysia telah memberikan impak kepada kaedah pelaksanaan bagi sebarang bentuk penganjuran yang melibatkan orang ramai. Pada tahun 2020, kaedah konvesional yang dirancang telah diubah suai yang 95% aktiviti dan program yang dirancang telah diadakan secara maya.\nMinggu Sains Negara 2021 akan dijayakan dengan kerjasama strategik antara MOSTI dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Institusi Penyelidikan, Women in Science, Persatuan Guru STEM, Institutes Engineer Malaysia (IEM), dan Institut Aminuddin Baki (ABI). MOSTI akan memastikan bahawa kandungan yang dibina menepati keperluan setiap golongan sasar secara bersasar.\n(Sumber: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)." "Kekalkan Pemuliharaan Hutan Kita\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur: Pada 21 Mac 2021 yang lalu, Majlis Pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia dan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2021 telah diadakan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong.\nPada majlis itu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli iaitu Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata Dasar Perhutanan Malaysia akan menjadi rujukan dan panduan kepada dasar-dasar perhutanan negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Penggubalan dasar berkenaan adalah manifestasi komitmen negara dalam melaksana pengurusan hutan secara berkekalan.\n\u201cIa merupakan agenda utama di dalam negara dan juga prinsip dipegang di peringkat antarabangsa,\u201c katanya dalam ucapan aluan sempena majlis berkenaan.\nDatuk Seri Dr Shamsul Anuar berkata, Dasar Perhutanan Malaysia dipersetujui semua kerajaan negeri pada mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-78 pada 29 Januari lalu.\nBeliau berkata, dasar itu melalui proses rundingan antara tiga wilayah iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak sejak tahun 2016.\nSelain itu, beliau berkata, mesyuarat berkenaan juga bersetuju dengan Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia bagi menggantikan Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992) yang terpakai di Semenanjung.\n\u201cKetiga-tiga dasar perhutanan wilayah iaitu Dasar Hutan Sabah, Dasar Hutan Sarawak dan Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia yang memberi tumpuan kepada pengukuhan pengurusan hutan secara berkekalan menjadi sebahagian daripada Dasar Perhutanan Malaysia,\u201c katanya.\nSementara itu, Shamsul Anuar berkata, selain daripada pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia, kementerian juga berjaya melaksana beberapa pencapaian dalam sektor perhutanan walaupun negara bergelut dengan pandemik COVID-19.\nAntaranya ialah Agenda Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 juta pokok dan penanaman 18.75 juta pokok di seluruh negara pada 2020.\nSelain itu, pencalonan Bukit Bendera, Pulau Pinang sebagai tapak rizab biosfera di bawah program Man and the Biosphere (MAB), UNESCO; pencalonan Taman Negara Johor Endau Rompin sebagai ASEAN Heritage Park ke-4 di Malaysia serta penghantaran pulang sembilan ekor Orang Utan ke Indonesia selain penetapan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) untuk negeri-negeri bagi tempoh 2021 hingga 2025.\nBeliau juga memberi jaminan komitmen kerajaan bahawa pelbagai inisiatif dan program mengenai pemuliharaan hutan dan biodiversiti akan terus dipergiat, diperbaiki dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa.\n\u201cTumpuan khusus akan diberikan kepada Agenda Nasional Penghijauan Malaysia bagi meningkatkan pemuliharaan hutan menerusi aktiviti penanaman pokok, rehabilitasi dan restorasi kawasan hutan terosot dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri di bawah Rancangan Malaysia ke-12,\u201c katanya.\nBeliau juga mengulangi komitmen kerajaan untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai hutan dan litupan pokok sepertimana diikrarkan semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada tahun1992.\nKatanya, litupan kawasan berhutan di Malaysia pada masa ini ialah 55.3 peratus yang meliputi kawasan seluas 18.27 juta hektar daripada keluasan tanah negara.\n\u201cJusteru, keluasan kawasan berhutan ini wajar dipelihara dan dipulihara oleh kita semua,\u201c katanya.\nPautan: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/03/686488/dasar-perhutanan-malaysia-jadi-rujukan-dasar-hutan-negeri-negeri" "Karyawan Penerbitan Ilmiah Dihargai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMajlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) sekali lagi mengambil inisiatif untuk mengiktiraf dan menghargai sumbangan para ilmuwan dan karyawan dalam kalangan ahli MAPIM dengan penganjuran Anugerah MAPIM-KPM 2019 (MAPIM-KPT ke-13).\nMajlis Anugerah MAPIM-KPT ke-13 yang diadakan pada 30 Mac 2021, pukul 2.30 petang secara dalam talian Cisco Webex telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Yang Berhormat Dato\u2019 Mansor Haji Othman.\nPemberian anugerah MAPIM adalah berdasarkan hadiah atau pengiktirafan yang diperoleh, iaitu dengan memilih yang terbaik dalam hasil penulisan dan kerjaya masing-masing. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melakarkan kejayaan memenangi anugerah pada kali ini bagi kategori Anugerah Buku Ilmiah Terbaik Sains Sosial dan Kemanusiaan, Anugerah Buku Ilmiah Terbaik Sains, Teknologi dan Perubatan, Anugerah Editor Naskhah Terbaik Sains Sosial dan Kemanusiaan, Anugerah Buku Ilmiah Umum Terbaik Sains, Teknologi dan Perubatan, dan Sijil Penghargaan Anugerah Editor Naskhah Terbaik Sains, Teknologi dan Perubatan.\nPenganjuran berterusan dan konsisten ini mencerminkan MAPIM ke arah memastikan sesebuah institusi pendidikan dan penyelidikan di Malaysia mencapai tahap antarabangsa dalam bidang penerbitan. Anugerah MAPIM antaranya bertujuan memberikan pengiktirafan kepada anggota MAPIM atas usaha mereka memajukan penerbitan ilmiah di Malaysia di samping memberikan pengiktirafan kepada karyawan atas sumbangan cemerlang mereka dalam bidang penerbitan ilmiah. Anugerah MAPIM merupakan anugerah tahunan yang merangkumi tiga kategori utama, iaitu:\nPenulis:\nWan Mohd Khairul Firdaus Wan Khairuldin\nAnugerah Buku Ilmiah Terbaik\nSains Sosial dan Kemanusiaan\nPenulis:\nNoraini Talip\nNoor Solihani Shamsuddin\nAnugerah Buku Ilmiah Terbaik\nSains, Teknologi dan Perubatan\nPenulis:\nRosnah Ishak\nAnugerah Editor Naskhah Terbaik\nSains Sosial dan Kemanusiaan\nPenulis:\nHanis Mastura Yahya\nSijil Penghargaan\nAnugerah Editor Naskhah Terbaik\nSains, Teknologi dan Perubatan\nPenulis:\nWan Zahira Wan Zain\nArman Zaharil Mat Saad\nMazian Ismail\nAnugerah Buku Ilmiah Umum Terbaik\nSains, Teknologi dan Perubatan\n(Sumber: Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM))" "LEGO NASA Space Shuttle Discovery Mengangkat Imaginasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\nSet LEGO NASA\u00a0Space Shuttle Discovery\u00a0yang membawa keajaiban penerokaan ruang angkasa telah dilancarkan pada 22 Mac 2021. Pelancaran set tersebut adalah sebagai penghormatan bersempena dengan ulang tahun ke-40 penerbangan Space Shuttle\u00a0Discovery\u00a0yang membawa Teleskop Hubble\u00a0yang pertama pada 12 April 1981. Perjalanan tersebut merupakan detik perintis dalam sejarah angkasa lepas.\nSet LEGO NASA Space Shuttle Discovery\u00a0termasuk Teleskop Hubble\u00a0terdiri daripada 2354 keping lego, lengkap dengan gear pendaratan berfungsi, dan pintu bay muatan yang terbuka satu demi satu. Pintu juga dilengkapi pelekat reflektif untuk meniru radiator penyejuk yang terdapat pada orbit ulang-alik sebenar. Peminat LEGO boleh melayari lego.com/gobeyond untuk menonton wawancara dengan mantan Angkasawan NASA Dr. Kathy Sullivan, mendapatkan maklumat lanjut mengenai LEGO NASA Space Shuttle Discovery\u00a0dan mengakses beberapa alat pembelajaran secara dalam talian yang hebat daripada LEGO Education.\nMenurut Milan Madge, Pereka bentuk Set LEGO, Space Shuttle Discovery\u00a0ialah kenderaan paling rumit dan mencabar tetapi menarik yang pernah dibuatnya. \u201cSaya perlu membuat bahagian luaran Space Shuttle\u00a0Discovery\u00a0yang halus dan dalamannya yang mampu menahan muatan. Saya juga perlu menambahkan gear pendaratan yang berfungsi. Bahagian ini yang paling mencabar daripada model ini. Saya cuba memasangkan gear pendaratan depan dan utama tanpa mengeluarkan ruang muatan dan tanpa menjejaskan struktur model. Bahagian kegemaran saya ialah tempat duduk kecil yang berwarna biru yang membawa lima individu jauh dari planet asal mereka dalam misi yang membolehkan kita menemukan alam semesta yang belum pernah dilihat sebelumnya! Setelah selesai, set ini juga dilengkapi stan dan plak maklumat yang membolehkan anda memaparkan ciptaan anda dengan penuh rasa bangga.\u201d\nLEGO bergabung dengan Dr. Kathy Sullivan untuk mendedahkan perincian pengalaman beliau dalam misi NASA STS-31 yang asal dan membandingkannya dengan model LEGO yang lebih terperinci mengenai kapal angkasa dan Teleskop Hubble\u00a0yang terkenal. Dalam wawancara yang menarik itu, Dr. Sullivan mendedahkan perincian misi beliau yang luar biasa yang melancarkan Teleskop Angkasa Hubble ke kosmos.\nMisi Dr. Sullivan membolehkan NASA dan saintis di seluruh dunia meneroka lebih banyak alam semesta berbanding dengan sebelum ini. Wawancara itu juga merangkumi pemikiran Dr. Sullivan yang memberikan dorongan kepada golongan muda untuk menceburi kerjaya dalam bidang STEM dan penerokaan angkasa lepas.\nMengulas set Space Shuttle\u00a0Discovery, Dr. Sullivan mengatakan bahawa \u201cSaya amat gembira melihat pesawat ulang-alik dalam bentuk LEGO, dan sangat terkesan dengan jumlah detail yang berjaya dibuat oleh pereka bentuk LEGO. Mereka berjaya membuat modul yang kami (angkasawan) biasa tidur dan makan melalui \u201cgerai susu\u201c di Teleskop Hubble. Melihat modelnya, saya terkenangkan pengalaman saya dalam ruang teleskop untuk pertama kali. Hubble sememangnya menjadi puncak kerjaya saya. Model LEGO ini adalah cara yang baik untuk pembangun LEGO dan peminat pengembaraan angkasa lepas mempelajari lebih banyak mengenai misi angkasa lepas yang terkenal dengan cara yang menyeronokkan dan menarik.\u201c\nDr. Sullivan juga memberikan pandangan pakar beliau tentang masa depan penerokaan ruang angkasa kepada LEGO. Menurut beliau, \u201cHalangan terbesar untuk pelancongan angkasa dalam tempoh 30 tahun akan datang ialah elemen keselamatan dan biaya. Jika kita dapat menerobos masalah ini, masyarakat umum berupaya mengembara ke angkasa lepas pada masa depan.\u201c\nSet LEGO NASA Space Shuttle Discovery\u00a0boleh didapati di kedai LEGO yang sah\u00a0dan di LEGOLAND mulai 1 April 2021 dengan harga RM799.90" "Fenomena Bulan Purnama Gedang (Supermoon)\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada tahun 2021, fasa bulan purnama yang terjadi ketika perigi atau apogi adalah pada 27 April dan 26 Mei dengan jarak bulan masing-masing 357 378\u00a0km dan 357 311 km. Fasa purnama yang terjadi ketika perigi dikenali sebagai \u201cbulan purnama gedang\u201d (supermoon). Pada malam tersebut, bulan purnama akan kelihatan lebih besar daripada bulan purnama yang lain.\nJika fasa bulan purnama terjadi ketika perigi atau apogi, bulan akan kelihatan lebih besar daripada fasa purnama yang lain. Sebaliknya jika fasa purnama berlaku ketika apogi, bulan akan kelihatan lebih kecil dari fasa purnama yang lain. Bulan purnama ketika perigi dapat dilihat 7% lebih besar daripada purnama biasa, dan 12% lebih besar daripada purnama ketika apogi. Bulan purnama ketika perigi juga lebih cerah, iaitu kecerahannya antara 20% hingga 30% daripada purnama yang lain.\n(Sumber: Dr. Kassim Bahali, Felow Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia)." "Colek Ketika Ramadan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nColek sinonim dan popular dalam kalangan masyarakat Kelantan. Makan colek merupakan aktiviti santai yang dilakukan bersama-sama ahli keluarga dan teman-teman pada waktu malam, seawal selepas solat Isyak hinggalah larut malam. Apabila tiba bulan Ramadan, pelbagai jenis hidangan colek menjadi pilihan para pelanggan. Antaranya termasuklah colek buah, colek ayam, colek kerang, colek malas, colek perut, colek campur, dan sebagainya. Hidangan ini biasanya dimasak celur, dibakar atau digoreng celup tepung sebelum dihidangkan bersama-sama sos atau serbuk khas yang berfungsi sebagai penambah perisa.\nUmum mengetahui bahawa hidangan colek ini diiringi kandungan gula, garam, lemak, kalori, dan redikal bebas yang tinggi. Tambahan pula dimakan antara pertengahan malam hingga lewat malam. Kandungan makanan colek dan tempoh makan colek ini boleh menjejaskan kualiti kesihatan.\nPersoalannya, bagaimanakah untuk mengolah aktiviti makan colek supaya tidak menjejaskan kesihatan? Pertama, hadkan kekerapan aktiviti makan colek antara sekali hingga dua kali seminggu sahaja. Hal ini demikian kerana kekerapan memainkan peranan dalam memberikan impak kepada status kesihatan kita. Sebagai contohnya, sekiranya kita memakan makanan yang tinggi kandungan lemak tepu setiap hari secara berlebihan tanpa gagal, badan kita akan dirangsang tanpa henti untuk menghasilkan kolesterol dalam darah dan meningkatkan kadar sel lemak dalam badan. Maka, akan timbul kesan kenaikan status lemak (Serum Lipid Profile) yang bermungkinan besar akan mengakibatkan dislipidemia, hipertensi, obesiti, strok, dan sebagainya.\nKedua, kawal kuantiti pengambilan. Sekiranya kita bercadang untuk makan colek, elakkan makan moreh. Hal ini demikian kerana kedua-duanya ialah supper. Sekiranya diambil bersama-sama, dikhuatiri kuantiti pengambilan menjadi berlebihan kerana kadar metabolisme kita telah pun berkurang secara biologinya, sebagai persiapan untuk tidur.\nKeadaan ini tidak memerlukan tenaga dan zat yang berlebihan kerana sedikit sahaja tenaga dan zat yang digunakan oleh badan kita sewaktu tidur. Selain itu, kita perlu sematkan dalam minda bahawa makan colek sekadar untuk merasa atau alas perut, bukan makan untuk kenyang.\nKetiga, pilih jenis colek berasaskan \u201creal food\u201d. Elakkan memilih colek yang berasaskan makanan terproses seperti sosej, bebola ikan, keropok ikan, dan sebagainya. Hal ini demikian kerana makanan \u201creal food\u201d mempunyai nilai nutrisi dan penyerapan yang tinggi berbanding dengan makanan proses. Makanan proses mengandungi kalori, garam, lemak (trans dan tepu), kolesterol, dan radikal bebas yang tinggi. Itu belum lagi ditambah dengan sos pencicah yang sememangnya tinggi bahan pewarna, pengawet dan perasa tambahan.\nSewaktu makan colek, anda disarankan makan makanan daripada hidangan tanpa menghirup atau menghabiskan sos pencicahnya. Cukuplah sekadar sos atau bahan perasa yang melekat pada makanan tersebut. Adalah lebih baik jika anda boleh makan sekali ulam seperti taugeh, timun, salad, dan sebagainya yang selalunya dijadikan hiasan hidangan colek. Ulaman ini mengandungi nilai nutrisi seperti serat, antioksida, vitamin, dan sebagainya. Manakala, untuk hidangan air pula, adalah digalakkan untuk mengambil air kosong sahaja bagi mengelakkan pengambilan gula dan kalori secara berlebihan. Sekiranya tiada pilihan, adalah lebih baik untuk memilih minuman jenis \u2018O\u2019. Pilihan premis atau pengusaha yang mengamalkan penyediaan makanan secara bersih dan selamat juga penting bagi mengelakkan keracunan makanan.\nKeempat, jaga waktu makan. Elakkan makan colek pada larut malam. Biar ada jurang masa antara satu jam hingga dua jam sebelum tidur. Hal ini demikian kerana badan kita tidak menggunakan kalori yang banyak sewaktu tidur. Lebihan kalori yang tidak digunakan akan disimpan sebagai lemak dalam badan. Hal ini akan menyebabkan peningkatan kolesterol dan berat badan. Selain itu, keadaan ini juga akan menyebabkan ketidakhadaman dan refluks. Seboleh-bolehnya, selepas makan colek atau mengambil makanan lain, jangan terus tidur. Anda digalakkan melakukan aktiviti seperti senaman ringan (regangan), baca buku, membaca al-Quran, dan sebagainya.\nTuntasnya, ambillah keberkatan bulan Ramadan ini untuk meningkatkan kualiti amal ibadat dan pahala. Apa-apa yang dilakukan dengan niat kerana Allah melalui cara yang betul merupakan satu ibadah, termasuklah aspek pemakanan. Oleh itu, makanlah secara sihat, seimbang dan halalan tayyiban\u00a0supaya zat yang membentuk fizikal, spiritual dan mental akan dipenuhi keberkatan.\n\u00a0\nMohd Faizal Mat Salleh ialah pakar diet di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan." "Tapak Pelupusan Sampah Pekan Nanas dan Jemaluang Boleh Bertahan Tiga Tahun Lagi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJOHOR BAHRU \u2013 Berikutan penggunaan tanah yang hampir mencapai maksimum, tapak pelupusan sampah di Pekan Nanas, Pontian dan Jemaluang, Mersing yang menjangkau lebih 25 tahun dijangka hanya mampu bertahan untuk tempoh tiga tahun lagi.\nCairul Hisham Jalaluddin, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor berkata, pelbagai langkah dilaksanakan bagi memanjangkan jangka hayat dan mengurangkan penggunaan tanah di kedua-dua tapak berkenaan termasuklah membangunkan kemudahan baharu yang dapat menukar sisa buangan kepada tenaga.\n\u201cDua tapak pelupusan sampah tersebut belum mencapai tahap kritikal dan masih boleh diuruskan dengan baik. Manakala jangka hayat bagi dua tapak pelupusan sampah berkenaan dijangka mampu bertahan hingga tahun 2024. SWCorp juga sedang rancak melaksanakan Kempen Pengasingan Sisa Di Punca (SAS) yang merupakan antara kaedah mengurangkan sisa pepejal yang dijanakan di rumah berbanding dihantar terus ke tapak pelupusan,\u201d ujar Cairul Hisham.\nMenurut Cairul, Johor mempunyai lapan tapak pelupusan sampah iaitu Pekan Nanas, Jemaluang, Batu Empat, Buloh Kasap, Moakil, Seelong, Tanjung Langsat dan Bandar Penawar.\nManakala tapak pelupusan sampah baharu di Bukit Payung, Batu Pahat yang dibina di tanah seluas 42.18 hektar dijangka beroperasi menjelang suku ketiga tahun ini dan SWCorp merancang untuk membuka dua lagi pusat pemindahan sampah di Pontian dan Muar.\nPurata kutipan sisa pepejal oleh SWCorp sepanjang perayaan Aidilfitri pada tahun lepas adalah sebanyak 2472 tan metrik sehari berbanding 2642 tan metrik pada tahun 2019 dengan pembuangan sisa makanan menjadi penyumbang terbesar." "Galeri Pameran Interaktif Robotik Terbesar di Kedah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nALOR SETAR \u2013 Galeri pameran interaktif robotik terbesar di Wilayah Utara, Cybernetics bakal menjadi tarikan terbaharu di Kedah. Galeri ini terdiri daripada enam kluster, iaitu Muslim Automation Heritage, Robot Anatomy, Machines in Action, Beat The Machines, Smart Industry dan Persekitaran Interaktif.\nMenteri Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, galeri seluas 500 meter persegi di Pusat Sains Negara (PSN) cawangan Wilayah Utara itu siap dibangunkan pada November 2020.\n\u201cGaleri ini mempunyai 19 bahan pameran interaktif, 32 unit robot dan tiga unit e-games yang boleh dilawati dan diterokai pengunjung dari empat negeri di Wilayah Utara iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis,\u201c katanya ketika melawat galeri berkenaan pada Isnin.\nHadir sama, Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ir Ts Dr Siti Hamisah Tapsir dan Pengarah PSN, Mismah Jimbun. Mengulas lanjut, Mismah berkata, pembangunan galeri itu mengambil masa selama lapan bulan dengan mengambil kira peranan dan teknologi robotik dalam kehidupan harian. Cybernetics turut menawarkan aktiviti pendidikan berkonsepkan robotik iaitu pengaturcaraan untuk pelbagai peringkat umur dari prasekolah hingga ke peringkat sekolah menengah.\n\u201cPembukaan galeri ini sempena operasi semula PSN Wilayah Utara yang ditutup sebelum ini akibat pandemik Covid -19. Kami menyasarkan seramai 120 000 pengunjung pada tahun ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19,\u201c katanya.\n\u00a0\nPautan: https://www.sinarharian.com.my/article/135626/BERITA/Nasional/Cybernetics-tarikan-terbaru-di-Kedah" "Kedudukan Kata Kerja dalam Ayat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata kerja ialah kata yang menjadi inti dalam frasa kerja yang bersifat endosentrik. Kata kerja biasanya hadir dalam predikat ayat. Terdapat kata kerja transitif dan tidak transitif dalam bahasa Melayu. Sila lihat contoh yang berikut:\nDalam ayat 1, kata kerja tidak transitif \u201cduduk\u201d berada dalam predikat frasa kerja ayat. Dalam ayat 2, kata kerja transitif \u201cmenjalankan\u201d diikuti oleh objek tepat \u201ctugas\u201d. Dalam ayat 3, kata kerja transitif dwiobjek \u201cmenghadiahi\u201d diikuti oleh objek tepat \u201cadiknya\u201d dan objek sipi \u201cbuku\u201d.\nKata kerja boleh diiringi oleh kata bantu, kata nafi dan adverba. Sila lihat contoh yang berikut:\nDalam ayat 4, kata kerja \u201cbalik\u201d diiringi oleh kata bantu aspek \u201cakan\u201d. Dalam ayat 5, kata kerja \u201cbalik\u201d diiringi oleh kata bantu ragam \u201charus\u201d. Dalam ayat 6, kata kerja \u201cbalik\u201d diiringi oleh kata bantu aspek \u201cmasih\u201d dan kata bantu ragam \u201cmahu\u201d sekali gus. Dalam ayat 7, kata kerja \u201cbersalah\u201d diiringi oleh kata nafi \u201ctidak\u201d. Dalam ayat 8, kata kerja \u201cbelajar\u201d diiringi oleh kata nafi \u201cbukan\u201d dalam ayat yang bersifat pertentangan maksud. Dalam ayat 9, kata kerja \u201cdatang\u201d diiringi oleh kata adverba \u201csering\u201d.\nKata kerja boleh juga diiringi oleh kata adjektif dan kata kerja. Sila lihat contoh yang berikut:\nDalam ayat 10, kata kerja \u201cdatang\u201d diiringi oleh kata adjektif \u201clambat\u201d yang berfungsi sebagai adverba. Dalam ayat 11, kata kerja \u201cberkilat\u201d berfungsi sebagai adverba kepada kata adjektif \u201chitam\u201d. Dalam ayat 12, kata kerja \u201cterbang\u201d diiringi oleh kata kerja \u201cmeninggi\u201d yang berfungsi sebagai adverba.\nSesetengah kata kerja dapat juga diiringi oleh kata penguat. Sila lihat contoh yang berikut:\nDalam ayat 13, kata kerja \u201cberwibawa\u201d diiringi oleh kata penguat \u201csangat\u201d. Dalam ayat 14, kata kerja majmuk \u201cbertanggungjawab\u201d diiringi oleh kata penguat \u201camat\u201d. Dalam ayat 15, kata kerja \u201cterkejut\u201d diiringi oleh kata penguat \u201csungguh\u201d. Dalam ayat 16, kata kerja \u201cmemerlukan\u201d diiringi oleh kata penguat \u201csangat\u201d. Dalam ayat 17, kata kerja \u201cmembanggakan\u201d diiringi oleh kata penguat \u201camat\u201d. Dalam hal ini, kata dasar sesetengah kata kerja tersebut merupakan kata nama (wibawa, tanggungjawab), kata kerja (kejut), kata tugas (perlu) atau kata adjektif (bangga).\nPelengkap ialah kata, frasa atau klausa yang menjadikan maksud sesuatu ayat lengkap. Pada umumnya, pelengkap bersifat wajib. Sesetengah kata kerja transitif dan kata kerja transitif boleh diiringi oleh pelengkap seperti yang berikut:\nDalam ayat 18, kata kerja tidak transitif \u201cberbuat\u201d diikuti oleh pelengkap kata adjektif \u201cbaik\u201d. Dalam ayat 19, kata kerja tidak transitif \u201cmenjadi\u201d diikuti oleh pelengkap kata nama \u201cguru\u201d. Dalam ayat 20, kata kerja tidak transitif \u201cberpayungkan\u201d diikuti oleh pelengkap kata nama \u201ckertas\u201d. Dalam ayat 21, kata kerja tidak transitif \u201cbermastautin\u201d diikuti oleh pelengkap frasa sendi nama \u201cdi negara itu\u201d. Dalam ayat 22, kata kerja tidak transitif \u201cberpendapat\u201d diikuti oleh pelengkap klausa komplemen \u201cbahawa adiknya betul\u201d. Dalam ayat 23, kata kerja tidak transitif \u201cbercadang\u201d diikuti oleh pelengkap klausa komplemen \u201cuntuk (dia) balik\u201d. Dalam ayat 24, kata kerja tidak transitif \u201cberharap\u201d diikuti oleh pelengkap klausa keterangan harapan \u201csemoga kawannya berjaya\u201d. Dalam ayat 25, kata kerja transitif \u201cmenegah\u201d dengan objek \u201cadiknya\u201d diikuti oleh pelengkap klausa keterangan pengecualian \u201cdaripada (dia) berbuat salah\u201d.\u00a0 Dalam ayat 26, kata kerja tidak transitif \u201cbermain\u201d diikuti oleh pelengkap tidak wajib \u201cbola\u201d.\nKata kerja juga boleh diikuti oleh frasa keterangan dan klausa keterangan. Sila lihat contoh yang berikut:\nDalam ayat 27, kata kerja \u201cduduk\u201d diikuti oleh frasa sendi nama keterangan \u201cdi sana\u201d.\u00a0 Dalam ayat 28, kata kerja transitif \u201cmembeli\u201d diikuti oleh klausa relatif objek \u201cyang biru\u201d yang menjadi penerang dalam frasa nama (inti frasa nama sudah digugurkan). Dalam ayat 29, kata kerja \u201cmengatakan\u201d diikuti oleh klausa komplemen objek \u201cbahawa dia betul\u201d. Dalam ayat 30, kata kerja \u201cduduk\u201d diikuti oleh klausa keterangan tujuan \u201cuntuk (dia) merehatkan badan\u201d.\nKata kerja juga dapat menjadi penerang dalam frasa nama. Jika inti frasa nama digugurkan, sesetengah kata kerja seolah-olah menjadi subjek ayat. Malahan, ada kata kerja yang dapat menjadi ayat minimal. Sila lihat contoh yang berikut:\nDalam ayat 31, kata kerja \u201cmakan\u201d menjadi penerang dalam frasa nama \u201cmeja makan itu\u201d yang menjadi subjek ayat. Dalam ayat 32, kata kerja \u201crenang\u201d menjadi penerang dalam frasa nama \u201ckolam renang\u201d yang menjadi predikat ayat. Dalam ayat 33, kata kerja \u201cberenang\u201d ialah penerang bagi frasa nama \u201caktiviti berenang\u201d yang menjadi subjek ayat. Dalam ayat 34, kata kerja \u201cberenang\u201d seolah-olah menjadi subjek ayat apabila inti frasa nama \u201ckegiatan\u201d digugurkan. Dalam ayat 35, kata kerja predikat \u201ckeluar\u201d menjadi ayat minimal apabila subjek ayat seperti awak atau kamu digugurkan.\nSesetengah kata kerja dapat juga berfungsi sebagai kata sendi nama. Sila lihat contoh yang berikut:\nDalam ayat 36 dan 37, kata kerja \u201cmelalui\u201d dan \u201cmenerusi\u201d berfungsi seperti kata sendi nama \u201cdengan\u201d." "Apa Kata Sains tentang Puasa?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPuasa pada bulan Ramadan merupakan satu proses yang memberi manfaat kepada kesihatan tubuh badan.\nDalam bulan ini, kita berpeluang untuk merehatkan organ penghadaman yang telah bekerja keras sepanjang tahun. Bukan saja merehatkan, kita juga memberi peluang kepada organ tersebut membersihkan \u201cdirinya\u201c dengan syarat kita mengamalkan pemakanan yang betul sepanjang bulan puasa ini.\nBerpuasa juga akan memberikan peluang kepada tubuh badan untuk membuang lebihan toksin yang terkumpul di dalam badan. Pada peringkat awal berpuasa, kita sedari bahawa mulut akan berbau, peluh berbau, kulit kering bersisik, gatal-gatal pada kulit, air kencing pekat dan berbau, lidah kelat dan sebagainya. Hal ini semua merupakan petanda bahawa tubuh sedang membersihkan toksin dalam badan.\nSelain itu, kelebihan berpuasa juga boleh meningkatkan kekuatan fizikal dan mental umat Islam. Selalunya pada bulan inilah kita merasakan bahawa kekuatan dalam diri kita diuji dengan pelbagai bentuk ujian. Bagi mereka yang bekerja dengan menggunakan kekuatan fizikal, bulan Ramadan pasti menguji ketahanan diri. Bagi mereka yang mudah lemah semangat, kelebihan bulan Ramadan ini perlulah digunakan untuk membina kekuatan diri.\nPautan: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/apa-kata-sains-tentang-puasa-39005" "Minum Ais Penyebab Badan Lesu?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCuaca panas terik sepanjang hari membuatkan kita cepat merasa dahaga. Terlintas di fikiran pada ketika itu alangkah leganya jika dapat meneguk air sejuk yang penuh dengan ketulan ais.\nBagi orang yang berpuasa, minuman manis berserta ais dengan perisa tertentu menjadi pilihan untuk menghilangkan kehausan.\nPersoalannya, adakah minum ais secara berlebihan ini boleh memudaratkan kesihatan?\nAda yang percaya bahawa minuman ais akan menyebabkan tubuh menjadi tidak bermaya, lesu, semput, sakit-sakit, perjalanan darah terganggu, darah haid keluar berketul-ketul dan melemahkan sistem imun.\nTimbalan Dekan Akademik (Sains Kesihatan) dan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Barakatun Nisak Mohd Yusof, berkata sehingga kini tiada kajian klinikal yang menunjukkan minuman ais boleh melemahkan sistem imuniti badan atau membekukan darah.\nBeliau yang juga seorang pensyarah dietetik menjelaskan bahawa dalam perubatan moden, tiada bukti saintifik atau kajian berkaitan dengan risiko minum air sejuk kepada tubuh untuk mereka yang ada masalah kesihatan seperti selepas bersalin atau pembedahan.\nBeliau menjelaskan, hanya ada dua kajian yang menunjukkan kesan buruk minuman ais kosong kepada status kesihatan. Kajian di China pada 2012, mendapati minuman ais bagi pesakit mengalami achalasia, iaitu keadaan menyebabkan saluran bawah esofagus (saluran menelan) yang tertutup dan makanan tidak boleh masuk ke perut. Apabila diberi minuman panas, makanan lebih mudah ditelan berbanding dengan minum minuman ais.\nSatu lagi, kajian di Sweden pada 2001 mendapati minuman ais menggunakan straw boleh menyebabkan sakit kepala bagi mereka yang ada migrain berbanding dengan mereka yang tiada mengalaminya.\nDr. Barakatun Nisak berkata, minum air banyak termasuklah yang mengandungi ais tidak kira keadaan cuaca atau suhu dapat membantu mengekalkan suhu badan, membuang toksik, memudahkan penghadaman dan mengurangkan risiko sembelit.\nSebenarnya yang menjadi punca minuman sejuk atau disajikan bersama ketulan ais lebih berisiko adalah apabila campuran gulanya terlalu tinggi hingga menjejaskan kesihatan. \u201cLazimnya tanpa disedari, ramai individu yang mengambil lebih daripada lima sudu gula sama ada melalui minuman dan makanan atau gula tersembunyi\u201c.\nMenurut beliau, \u201cPengambilan gula ringkas yang berlebihan dalam diet seharian boleh mengakibatkan kenaikan berat badan sehingga menyebabkan obesiti. Obesiti boleh melemahkan sistem imun badan. Kesan kepada masalah itu, seseorang boleh mengalami penyakit sendi akibat beban berat berlebihan\u201c.\n\u201cKesan kenaikan berat berlebihan disebabkan minuman ais yang manis dan diambil secara kerap boleh menyebabkan diabetes. Antara tanda diabetes adalah cepat letih dan lesu,\u201c katanya.\nApapun keadaan, beliau yang juga Ahli Majlis Persatuan Dietitian Malaysia, menasihati masyarakat agar mempraktikkan minum enam hingga lapan gelas air kosong sehari yang bersamaan dengan 1.5 hingga dua liter.\n\u201cAir putih bukan saja kosong kalori tetapi tidak memudaratkan kerana ais kosong diminum yang memasuki saluran pencernaan, suhunya berubah mengikut suhu badan. Yang paling penting, masyarakat perlu minum enam hingga lapan gelas air kosong sehari,\u201c katanya.\nDr. Barakatun Nisak berkata, bagi mereka yang melakukan aktiviti senaman dan terdedah dengan cuaca panas dan berada dalam persekitaran berhawa dingin, amat disyorkan untuk memastikan pengambilan air mencapai saranan ditetapkan.\nMereka juga disarankan mengambil cecair daripada sumber bukan air kosong seperti jus buah (tanpa gula), sup (rendah lemak dan garam), buah tembikai, timun dan sebagainya.\nIa akan menyumbang kepada keperluan cecair tubuh hingga 20 peratus. Sebaiknya kurangkan minuman berkafein seperti kopi, teh, minuman kola, minuman manis dan makanan masin.\n\u201cIni akan menyebabkan kerap membuang air dan boleh mengganggu hidrasi tubuh.\n\u201cDalam badan, 60 hingga 70 peratus adalah air tetapi ramai yang cenderung minum minuman bergula, sedangkan air suam atau air kosong lebih memberi kesegaran dan tubuh memerlukan gantian air dengan cekap,\u201c katanya.\nBeliau berkata, minuman tinggi gula, koko dan berkafein akan menyebabkan seseorang kerap membuang air antara dua hingga empat jam selepas meminumnya dan lebih cepat berlaku dehidrasi di samping cuaca panas di negara beriklim tropika.\nPautan: https://www.bharian.com.my/hujung-minggu/sihat/2021/04/807975/minum-ais-penyebab-badan-lesu" "Semak Ketetapan Arah Kiblat ketika Istiwa A\u2019dzam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nFenomena Istiwa A\u2019dzam akan berlaku pada hari ini, pukul 5:16 petang (waktu Malaysia) dan umat Islam di negara ini berpeluang untuk menyemak ketepatan arah kiblat di premis atau kediaman masing-masing.\nIstiwa A\u2019dzam yang akan berlaku ialah apabila kedudukan matahari tepat berada di atas Kaabah (12:16 tengah hari waktu Mekah). Fenomena ini berlaku sebanyak dua kali dalam setahun.\nArah kiblat boleh disemak dengan menggunakan objek-objek tegak dan lurus sebagai alat pengukur bayang-bayang objek. Cuaca juga perlu dalam keadaan yang baik (tidak mendung atau hujan) agar bayang-bayang objek jelas kelihatan dan mudah untuk ditanda.\nSetelah selesai membuat penandaan arah kiblat, maka bolehlah menyemak semula arah kiblat yang sedia ada atau membuat semakan arah kiblat dengan menggunakan aplikasi telefon pintar masing-masing." "Transformasi Perpustakaan Digital UiTM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerkembangan era globalisasi pada masa ini secara tidak langsung telah mewujudkan pelbagai bentuk teknologi moden yang boleh diguna pakai oleh pengguna. Maklumat yang dahulunya sering didapati dalam bentuk fizikal kini telah berubah kepada bentuk digital. Dalam usaha meletakkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) di peta dunia selari dengan tema Pelan Strategik UiTM 2020-2025, iaitu \u201cTowards A Globally Renowned University\u201d, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) telah mengambil inisiatif menawarkan perkhidmatan digital perpustakaan secara komprehensif dengan merangkumi tiga komponen utama. Komponen tersebut ialah perkhidmatan digital, koleksi digital dan proses digital. Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti pendidikan, pembelajaran, pengajaran, dan penyelidikan. Selain itu, inisiatif ini juga secara tidak langsung mampu menyokong proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian atau Open and Distance Learning (ODL).\nKomponen utama, iaitu perkhidmatan digital memberi penekanan kepada aspek sumber pendidikan terbuka (open educational resources) dan akses terbuka (open access). Perkhidmatan ini tersedia kepada pengguna tanpa mengira masa dan tempat yang mempunyai jaringan Internet selari dengan moto PTAR, iaitu Library for All. UiTM Library Mobile App dibangunkan bagi menepati keperluan Education 5.0 UiTM. Melalui aplikasi ini, pengguna berpeluang untuk menggunakan perkhidmatan perpustakaan melalui 12 komponen UiTM Library Mobile App untuk mengakses sumber maklumat, penerbitan rasmi perpustakaan dan lain-lain.\nTerdapat juga fungsi semakan akaun perpustakaan dan penggunaan e-kad pelajar atau staf bagi tujuan pengesahan identiti. Pengguna boleh menggunakan sama ada Sistem IoS (Apple Store) atau Android (Google Play Store) untuk memuat turun aplikasi ini. Di samping itu, portal MyKnowledge Management (MyKM) turut diwujudkan bagi memudahkan pengguna mendapatkan maklumat terkini berkaitan dengan perpustakaan. Portal ini merupakan satu daripada inisiatif perkhidmatan digital terpenting yang mengumpul, mengurus dan menyebarkan maklumat pengetahuan berdasarkan bahan rujukan yang dihasilkan oleh pengarang dan penyelidik dari UiTM dan seluruh dunia. Melalui MyKM ini, maklumat yang disediakan adalah secara bersasar dan bertindak sebagai pusat maklumat setempat.\nKomponen yang kedua ialah koleksi digital yang memberi penekanan kepada aspek data raya (big data) dan bahan secara virtual reality. Koleksi yang boleh diakses secara dalam talian ini dipaparkan dalam format virtual dan ditambah baik dari semasa ke semasa. Hal ini bagi meningkatkan kualiti dan prestasi pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan warga UiTM, khususnya pengguna perpustakaan. Antara koleksi digital yang mendapat perhatian pengguna ialah UiTM Institutional Repository, Exam Paper, Portal eBook, Article Indexing, Khazanah Melayu Repository, eResources dan Local Content Hub.\nKomponen ketiga ialah proses digital yang memberi penekanan kepada proses pendigitalan. Melalui komponen ini, fasa integrasi telah ditekankan dalam pelbagai proses kerja dan operasi perpustakaan. Executive Information System (EIS) telah diwujudkan dengan tujuan pengumpulan data dan akses kepada pengurusan data strategik 38 buah perpustakaan UiTM. Sistem yang bertindak sebagai pusat pengumpulan data ini merangkumi lima aspek, iaitu perkhidmatan perpustakaan, repositori institusi, bahan perpustakaan, arkib universiti, dan pengurusan perpustakaan.\nUsaha sama dan penglibatan pelbagai pihak amat penting bagi memastikan perkhidmatan digital PTAR sentiasa berada pada tahap yang terbaik. Oleh hal yang demikian, koleksi yang disediakan sentiasa dikemas kini agar pengguna mendapat maklumat yang terkini. Pihak perpustakaan juga bertanggungjawab dalam menjaga isu-isu berkaitan dengan hak cipta seperti yang terkandung dalam Dasar Penyerahan Bahan Harta Intelek Universiti Teknologi MARA ke Repositori Institusi Universiti. Bagi memastikan ketampakan inisiatif perpustakaan digital ini, pelbagai pendekatan diambil, terutamanya dalam aspek promosi dan pemasaran. Pengguna boleh memberikan maklum balas dengan menggunakan perkhidmatan Live Chat with Librarian secara terus melalui staf yang bertugas. Pelbagai langkah perlu dilaksanakan bagi memastikan pengguna mahir untuk menggunakan perkhidmatan yang disediakan. Tatacara penggunaan perkhidmatan telah disediakan, namun begitu setiap staf perpustakaan UiTM bertanggungjawab memastikan pengguna memahami sepenuhnya proses pencarian bahan bagi memastikan perkhidmatan perpustakaan kekal relevan kepada pengguna walau dalam apa-apa jua keadaan." "Pembangunan Teknologi Sains China Memberikan Tumpuan terhadap Kemandirian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBEIJING \u2013 Presiden China, Xi Jinping menggesa ahli profesional di China agar meningkatkan usaha untuk mencapai kemandirian serta pengukuhan diri dalam teknologi sains pada peringkat yang lebih tinggi ketika berucap dalam mesyuarat yang menggabungkan Perhimpunan Agung Anggota Akademi Sains China dan Akademi Kejuruteraan China serta Kongres Kebangsaan Persatuan Sains dan Teknologi China.\nBeliau menyatakan bahawa kemandirian dan pengukuhan diri dalam bidang sains dan teknologi haruslah sentiasa dianggap sebagai sokongan strategik bagi pembangunan kebangsaan.\nMenurut beliau lagi, China merupakan sebuah negara yang berpotensi besar dalam melaksanakan pelbagai inovasi. Beliau berharap agar ahli profesional teknologi sains di negara itu dapat memahami trend global, mengambil inisiatif, berani berhadapan dengan masalah, mengatasi pelbagai kesukaran untuk terus maju seiring dengan peredaran masa, dan melakukan pembaharuan yang berterusan.\nSelain itu, pembangunan saintifik dan teknologi juga haruslah menyasarkan teknologi sains global, berkhidmat di medan perang ekonomi utama, berusaha untuk memenuhi keperluan negara dan memberikan faedah kepada kehidupan serta kesihatan masyarakat.\nBeliau turut memuji kemajuan yang dicapai dalam inovasi teknologi sains, penyelidikan asas, inovasi asal, industri teknologi sains dan tahap atasan strategik, serta peranan ketara sains dan teknologi dalam membendung pandemik COVID-19. Oleh itu, beliau menegaskan kepada ahli profesionalnya supaya mengambil langkah inovasi yang berani dan bekerja tanpa lelah untuk memberikan lebih banyak sumbangan agar dapat merealisasikan impian China untuk terus maju dan menjadikan China sebuah negara yang mempunyai kuasa dalam bidang teknologi sains." "Ivermectin Penawar COVID-19?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSatu ujian klinikal, iaitu Randomised Evaluation of COVID-19 Therapy (RECOVERY) menunjukkan sejenis ubat steroid, Dexamethasone dapat membantu mengurangkan kadar kematian jika diberi kepada pesakit pada tahap kritikal yakni ketika memerlukan bantuan oksigen atau semasa memerlukan mesin pernafasan. Namun begitu, untuk pengurusan kes COVID-19 yang ringan dan sederhana, masih belum ada rawatan yang khusus, baik untuk mencegah penyakit daripada melarat ataupun untuk menghentikan penyebaran virus.\nMalaysia menyertai kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, iaitu COVID-19 Solidarity Trial for COVID-19 Treatments (SOLIDARITY). Setakat ini, kajian ini masih belum mendapat bukti yang konklusif penggunaan ubat-ubatan seperti Remdesivir, Hydroxychloroquine, Interferon, dan Lopinavir bagi mengurangkan kematian. Banyak pihak yang mencadangkan penggunaan ubat Ivermectin.\nIvermectin ialah ubat anti-parasit yang diluluskan oleh The United States\u00a0Food and Drug Administration (FDA) dan kebiasaannya digunakan untuk haiwan dan untuk merawat beberapa penyakit tropika termasuklah onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases. Penggunaan \u201coff-label\u201c Ivermectin untuk COVID-19 mula mendapat perhatian global kerana terdapat beberapa kajian kes dan ujian klinikal yang menunjukkan keputusan yang baik. Namun begitu, belum ada bukti yang betul-betul meyakinkan bagi mengesyorkan penggunaan Ivermectin untuk COVID-19. FDA juga tidak meluluskan penggunaan Ivermectin dalam merawat atau mencegah COVID-19 dalam kalangan manusia.\nPerkara ini telah dijelaskan oleh FDA dalam artikel yang bertajuk \u201cWhy You Should Not Use Ivermectin to Treat or Prevent COVID-19\u201d (3 Mei 2021). Pertubuhan Kesihatan Sedunia setakat ini hanya mengesyorkan penggunaan Ivermectin dalam ujian klinikal, yang pesakit perlu dipantau rapi oleh doktor pakar dan penyelidik yang berpengalaman untuk menjamin keselamatan dan keberkesanan. Begitu juga, European Medicines Agency (EMA) telah mengambil pendekatan yang sama, iaitu belum mencadangkan penggunaan Ivermectin sebagai rawatan COVID-19 susulan tiada data klinikal yang mencukupi bagi membuktikan keberkesanan produk tersebut dalam merawat atau mencegah COVID-19 sebagaimana kandungan artikel yang bertajuk \u201cEMA Advises Against Use of Ivermectin for the Prevention or Treatment of COVID-19 Outside Randomised Clinical Trials\u201d (22 Mac 2021).\nMengikut saranan yang sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), KKM telah memulakan ujian klinikal (Randomised Control Trial) di 12 buah hospital KKM bagi mengkaji kesan penggunaan Ivermectin berbanding dengan rawatan standard yang diberi kepada 500 orang pesakit COVID-19 kategori 2 dan kategori 3 yang berisiko tinggi dan berumur 50 tahun ke atas.\nUjian ini bertujuan mengkaji keberkesanan Ivermectin dalam mencegah pesakit COVID-19 daripada menjadi lebih serius (kategori 4 dan kategori 5) dan mengurangkan kematian. Kajian ini telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kajian dan Etika Perubatan (Medical Research and Ethics Committee \u2013 MREC), KKM pada 25 Mei 2021. Kajian telah bermula pada 31 Mei 2021, dan kini lapan orang pesakit telah didaftarkan terlibat dalam kajian ini.\nUntuk kenyataan penuh, sila layari laman web Ministry of Health Malaysia starts Ivermectin trial for high risk COVID-19 patients (I-TECH Study) https://kpkesihatan.com/./ministry-of-health-malaysia./\n(Berita ini disusun daripada sumber Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia pada 5 Jun 2021)." "Sindrom Pasca-COVID\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSindrom pasca-COVID ialah keadaan bekas pesakit COVID-19 masih menunjukkan gejala bagi tempoh 12 minggu atau lebih. Gejala tersebut tidak dapat dijelaskan dengan sebarang diagnosis alternatif. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh komplikasi jangkitan COVID-19 terhadap fungsi pelbagai organ dalam tubuh individu.\nBerdasarkan kajian klinikal yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melibatkan 1004 orang pesakit kategori 4 dan kategori 5 yang menerima rawatan susulan, didapati sebanyak 66% daripada pesakit ini mengalami sindrom pasca-COVID.\nKelesuan, kesukaran bernafas apabila melakukan sebarang aktiviti, sukar tidur malam, batuk dan berasa gelisah merupakan simptom yang kerap dialami oleh bekas pesakit COVID-19.\nHingga kini, rawatan yang diberi adalah berdasarkan simptom yang ditunjukkan oleh pesakit dan fungsi tubuh yang terlibat. Pakar dalam bidang ini akan dirujuk bagi memastikan pesakit mendapat rawatan klinikal yang optimum. Kajian klinikal akan terus dijalankan untuk mengenal pasti kesan sindrom pasca-COVID dan akan dimaklumkan kepada masyarakat dari semasa ke semasa.\nJanji temu rawatan susulan diberi kepada para pesakit COVID-19 yang dibenarkan discaj dari hospital bagi memastikan mereka sembuh sepenuhnya. Bagi bekas pesakit COVID-19 yang masih mempunyai gejala, mereka dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berhampiran. Tindakan ini sangat penting bagi mengekalkan tahap kesihatan bekas pesakit COVID-19 dan mengurangkan sebarang komplikasi jangka masa panjang.\nOrang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin agar dapat mengurangkan risiko jangkitan COVID-19. Selain itu, orang ramai juga perlu mengelakkan kawasan yang sesak dan sempit, dan bersembang dengan jarak yang dekat. Amalkan membasuh tangan dengan menggunakan sabun atau pensanitasi tangan, memakai pelitup muka apabila bergejala atau keluar dari rumah, dan jangan bersentuhan atau bersalaman dengan orang lain. Patuhilah Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik." "Bekas Pesakit COVID-19 Belum Bebas\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Berdasarkan kajian klinikal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 66% daripada bekas pesakit COVID-19 mengalami sindrom pasca-COVID, khususnya bekas pesakit daripada kategori 4 dan kategori 5. Bekas pesakit akan kerap mengalami kelesuan, kesukaran bernafas apabila melakukan sebarang aktiviti, sukar tidur malam, batuk, dan berasa gelisah\nMenurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato\u2019 Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, rawatan yang diberi hingga kini adalah berdasarkan simptom yang ditunjukkan oleh pesakit dan fungsi tubuh yang terlibat. Pakar dalam bidang ini akan dirujuk bagi memastikan pesakit mendapat rawatan klinikal yang optimum. Kajian klinikal akan terus dijalankan untuk mengenal pasti kesan sindrom pasca-COVID dan akan dimaklumkan kepada masyarakat dari semasa ke semasa.\n(Dipetik daripada sumber Kementerian Kesihatan Malaysia. Maklumat lanjut di laman web https://kpkesihatan.com/)" "Harimau Emas HABIB untuk Zoo Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHABIB dan Zoo Negara Malaysia berkolaborasi untuk memberikan pendedahan dan sokongan membantu pemuliharaan Zoo Negara. Sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya, HABIB menawarkan kepada orang ramai wafer emas 24K/999.9 edisi terhad dalam rekaan enam haiwan ikonik Zoo Negara Malaysia, iaitu \u00a0Burung Enggang Badak atau Burung Enggang Kenyalang (Rhinoceros Hornbill), Giant Panda, orang utan, Harimau Malaya, Kancil (Lesser Mousedeer), dan Gajah Asia.\nKeenam-enam wafer emas seberat 0.2 gram ini berharga RM118.00, boleh didapati di bilik pameran HABIB di seluruh negara dan di laman web HABIB. Sebahagian daripada hasil penjualan wafer emas harimau ini akan disalurkan kepada Zoo Negara Malaysia." "Anak Malaysia Menang Hadiah Pulitzer\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya: Wartawan kelahiran Malaysia, Ed Yong memenangi Hadiah Pulitzer\u00a02021. Tweet oleh The Pulitzer Prizes pada 12 Jun 2021 menyatakan bahawa Yong, seorang penulis sains dengan majalah Amerika, The Atlantic sejak tahun 2015 dianugerahkan Hadiah Pulitzer 2021 dalam laporan penjelasan mengenai pandemik COVID-19.\nMelalui Twitternya pada 12 Jun 2021, Yong menjelaskan, \u201cSaya melakukan yang terbaik untuk memberi pembaca landasan yang stabil bagi menghadapi krisis berkaitan dengan pandemik ini yang tidak masuk akal. Saya sedih cerita-cerita ini sering diperlukan. Saya harap berita yang saya hasilkan memberikan kelainan.\u201c\nYong mengucapkan terima\u00a0kasih kepada juri Pulitzer atas kemenangannya serta 300 sumber yang meluangkan masa untuk berkongsi kepakaran mereka dengannya, di samping rakan-rakannya di\u00a0The Atlantic. Menurut Yong, dia akan mengagihkan wang kemenangannya kepada mereka yang bekerjasama dengannya yang terdiri daripada penyunting, penyunting salinan, pemeriksa fakta, artis, dan sebagainya.\n\n(Sumber: Malaysiakini)" "Perihal Kelewahan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKelewahan berlaku apabila seseorang menggunakan sinonim untuk tujuan penegasan maksud. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a.\u00a0 *Hal itu mendatangkan manfaat dan kebaikan.\n1b.\u00a0 Hal itu mendatangkan manfaat/kebaikan.\n1c.\u00a0 Hal itu mendatangkan banyak manfaat/kebaikan.\n1d.\u00a0 Hal itu memang mendatangkan manfaat/kebaikan.\n1e.\u00a0 Hal itu sesungguhnya mendatangkan manfaat/kebaikan.\n1f.\u00a0 \u00a0Hal itu betul-betul mendatangkan manfaat/kebaikan.\nDalam kelompok ayat 1 di atas, penegasan maksud sepatutnya dilakukan dengan menggunakan mekanisme lain, iaitu kata bilangan \u2018tak tentu banyak atau kata penegas memang, kata penekan sesungguhnya, atau kata adverba seperti betul-betul.\nKelewahan juga berlaku apabila kita menambah huraian yang maksudnya sedia terkandung dalam kata asal.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\n2a.\u00a0 *Barangan itu diimport dari luar negara.\n2b.\u00a0 Barangan itu diimport.\n2c.\u00a0 Barangan itu diimport dari Australia.\n3a. *Dia membuang sampah yang tidak berguna.\n3b.\u00a0 Dia membuang sampah.\n3c.\u00a0 Dia membuang barangan yang tidak berguna.\n4a.\u00a0 *Itulah penjenayah yang jahat.\n4b.\u00a0 Itulah penjenayah.\n4c.\u00a0 Itulah orang yang jahat.\n5a.\u00a0 *Ramai ibu bapa yang ada anak hadir.\n5b.\u00a0 Ramai ibu bapa hadir.\n5c. \u00a0Ramai orang yang ada anak hadir.\n6a.\u00a0 *Ramai hadirin hadir.\n6b.\u00a0 Ramai hadirin teruja.\n6c.\u00a0 Ramai orang hadir.\n7a.\u00a0 *Makanan sedia terhidang.\n7b.\u00a0 Makanan terhidang.\n8a.\u00a0 *Seyogianya, dia harus berusaha.\n8b.\u00a0 Seyogianya dia berusaha.\n8c.\u00a0 Dia harus berusaha.\nAyat 2a lewah kerana kata diimport bermaksud \u201cdibawa masuk dari luar negara\u201d. Ayat 2c betul kerana menyatakan nama luar negara yang khusus, iaitu Australia. Ayat 3a lewah kerana kata sampah bererti \u201cbenda atau orang yang tidak berharga atau tidak berguna\u201d. Ayat 4a lewah kerana kata penjenayah bererti \u201corang yang melakukan kejahatan yang salah di sisi undang-undang\u201d. Ayat 5a lewah kerana frasa nama ibu bapa bererti \u201corang yang ada anak\u201d. Ayat 6a lewah kerana kata hadirin sudah mendukung maksud kata hadir. Ayat 7a lewah kerana awalan ter- sudah mendukung maksud \u201cdalam keadaan tersedia\u201d. Ayat 8a lewah kerana kata seyogianya bermaksud \u201cseharusnya, semestinya, sepatutnya atau selayaknya\u201d.\nKelewahan berlaku apabila dua kata penegas yang sama maksudnya digunakan dalam ayat.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\n9a.\u00a0 *Hanya sepuluh orang sahaja hadir.\n9b.\u00a0 Hanya sepuluh orang hadir.\n9c.\u00a0 Sepuluh orang sahaja hadir.\n10a.\u00a0 *Dia hanya berdiam diri semata-mata.\n10b.\u00a0 Dia hanya berdiam diri.\n10c.\u00a0 Dia berdiam diri semata-mata.\nDalam kelompok ayat 9, kata penegas hanya sama erti dengan kata penegas sahaja. Oleh itu, hanya satu daripada dua patah kata tersebut perlu digunakan. Dalam kelompok ayat 10 pula, kata penegas hanya sama erti dengan kata penegas semata-mata.\nKelewahan berlaku apabila dua kata sendi nama atau dua kata hubung yang sama fungsi digunakan secara berderetan.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\n11a.\u00a0 *Dia belajar dari pagi hingga ke petang.\n11b.\u00a0 Dia belajar dari pagi hingga petang.\n11c.\u00a0 Dia belajar dari pagi ke petang.\n12a.\u00a0 *Dia berusaha demi untuk berjaya.\n12b.\u00a0 Dia berusaha demi berjaya.\n12c.\u00a0 Dia berusaha untuk berjaya.\nAyat 11a lewah kerana sendi nama hingga dan ke menggalas fungsi yang sama. Ayat 12a lewah kerana kata hubung keterangan tujuan demi dan untuk tidak boleh digunakan secara berderetan.\nKelewahan juga terjadi jika kata yang mendukung maksud jamak digunakan bersama dalam ayat.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\n13a.\u00a0 *Burung-burung berterbangan.\n13b.\u00a0 Burung-burung terbang.\n13c.\u00a0 Burung berterbangan.\n14a.\u00a0 *Rumah-rumah di sana cantik-cantik.\n14b.\u00a0 Rumah-rumah di sana cantik.\n14c.\u00a0 Rumah di sana cantik-cantik.\n15a.\u00a0 *Senarai nama-nama peserta sudah disediakan.\n15b.\u00a0 Senarai nama peserta sudah disediakan.\nAyat 13a lewah kerana kata nama ganda burung-burung atau imbuhan beR-.-kan mendukung maksud jamak. Ayat 14a lewah kerana kata nama ganda rumah-rumah dan kata adjektif ganda cantik-cantik mendukung maksud jamak. Ayat 15a lewah kerana senarai nama bererti catatan nama yang disusun berderet atau mengikut urutan tertentu.\nKelewahan juga terjadi jika kata yang mendukung maksud dua pihak atau bersalingan digandingkan dengan kata saling. Sila lihat contoh yang berikut:\n16a.\u00a0 *Mereka saling berpelukan.\n16b.\u00a0 Mereka berpelukan.\n17a.\u00a0 *Mereka saling bantu-membantu.\n17b.\u00a0 Mereka saling membantu.\n17c.\u00a0 Mereka bantu-membantu.\nKelewahan juga berlaku jika kata atau frasa yang sudah mendukung maksud kesangatan digandingkan dengan kata penguat sangat. Sila lihat contoh yang berikut:\n18a.\u00a0 *Rambutnya sangat kusut-masai.\n18b.\u00a0 Rambutnya kusut-masai.\n18c.\u00a0 Rambutnya sangat kusut.\n19a.\u00a0 *Dia sangat miskin papa.\n19b.\u00a0 Dia miskin papa.\n19c.\u00a0 Dia sangat miskin.\nBagi kata yang mendukung maksud \u201cke atas\u201d atau \u201cke bawah\u201d, gandingan kata tersebut dengan frasa sendi nama \u201cke atas\u201d dan \u201cke bawah\u201d dianggap lewah. Sila lihat contoh yang berikut:\n20a.\u00a0 *Dia terjun ke bawah.\n20b.\u00a0 Dia terjun.\n21a.\u00a0 *Udara yang panas naik ke atas.\n21b.\u00a0 Udara yang panas naik." "Pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 Persis Pinang Pulang ke Tampuk\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPengumuman Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob untuk membuat pindaan terhadap Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 merupakan satu daripada peristiwa penting dalam negara dekad ini. Keputusan yang diambil oleh Kerajaan itu merupakan satu tindakan yang komprehensif, bagai pinang pulang ke tampuk dan wajar diberikan penghargaan, perhatian dan sekali gus disambut baik oleh setiap pihak di negara ini.\nTindakan ini memberikan satu nafas baharu dalam fasa kelangsungan pemartabatan bahasa Melayu. Bahkan yang lebih menggembirakan lagi apabila Perdana Menteri Malaysia ke-9 itu beriltizam untuk mengangkat penggunaan bahasa Melayu di peringkat ASEAN. Oleh yang demikian, selaras dengan hasrat Kerajaan untuk terus kekal memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dan pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959, terdapat beberapa cadangan yang perlu dipertimbangkan.\nPertama sekali, cadangan mewujudkan satu mekanisme kawalan yang bersifat \u201cmengikat\u201d yang berkaitan dengan perbahasan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), hatta menggunakan bahasa Melayu secara menyeluruh, yakni pindaan atau penggubalan di bawah Akta Bahasa Kebangsaan ataupun di bawah Peraturan Mesyuarat Perkara 36 (4). Hal ini bermaksud, tidak akan ada lagi penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa rojak atau selain daripada penggunaan bahasa Melayu ketika sesi perbahasan berlangsung. Kecuali beberapa terma ataupun istilah khas yang mengharuskan penggunaan bahasa Inggeris, maka wajar diberikan sedikit kelonggaran.\nUmum juga mengetahui dan memperakui bahawa peruntukan peraturan sedia ada dalam perbahasan memberikan satu keistimewaan kepada Parlimen untuk menggunakan bahasa Inggeris (sebagai pilihan) ketika perbahasan dengan kebenaran oleh Tuan Yang Dipertua Dewan. Misalnya, ketika sesi persidangan atau perbahasan di Dewan Rakyat. Seorang wakil rakyat memerlukan keizinan daripada Tuan Yang Dipertua Dewan sebelum mengutarakan sebarang perbahasan menggunakan bahasa Inggeris. Namun begitu, atas kapasiti bahasa Inggeris boleh digunakan dengan izin Tuan Yang Dipertua Dewan, berlaku beberapa salah guna pelanggaran penggunaan bahasa Melayu sehingga mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris oleh wakil-wakil rakyat ketika sesi perbahasan.\nOleh sebab itu, sudah tiba masanya keistimewaan ini diteliti dan diperhalusi semula dengan mewajibkan penggunaan bahasa Melayu secara menyeluruh ketika perbahasan baik di Parlimen mahupun di DUN setiap negeri. Cadangan ini bukanlah satu bentuk pertikaian terhadap keistimewaan sedia ada yang diperuntukkan dalam peraturan atau perlembagaan tetapi melihat pertimbangan bagi pembentukan jalur kesepaduan usaha memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan pada masa yang sama untuk mengelakkan pertindihan peruntukan perundangan sedia ada. Peruntukan peraturan sedia ada perlu digubal atau dipinda bagi membentuk keseragaman, yakni menjamin ketelusan penggunaan bahasa Melayu di setiap pelosok perbahasan wakil-wakil rakyat di negara ini, baik di Semenanjung Malaysia mahupun di Sabah dan Sarawak.\nLangkah ini dilihat selari dengan hasrat Kerajaan untuk mengangkat dan menjulang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa negara Malaysia. Ketika kewajipan seratus peratus berbahasa kebangsaan ketika persidangan Parlimen dan DUN ini dilaksanakan, hal itu secara tidak langsung dapat memberikan satu gambaran yang tegas dalam usaha murni pihak Kerajaan untuk mengangkat dan menjulang bahasa Melayu di negara ini. Bahkan penegasan ini memberikan satu kesedaran drastik kepada rakyat Malaysia untuk menyedari akan kepentingan penggunaan bahasa kebangsaan dan menolak kebergantungan terhadap pemakaian ataupun penggunaan bahasa Inggeris.\nSusulan hal itu, satu peruntukan klausa dalam undang-undang yang berkaitan dengan Akta Bahasa Kebangsaan (penggunaan bahasa Melayu secara menyeluruh) di Parlimen dan DUN perlu diwujudkan dan diseragamkan mengikut Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara dan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. Hasilnya, satu mekanisme kawalan undang-undang terhadap wakil-wakil rakyat yang bakal berucap dan berbahas dalam persidangan diwajibkan berbahasa Melayu secara menyeluruh.\nHal itu juga bermaksud, mana-mana ahli Parlimen atau ahli DUN yang bersidang yang didapati melanggar penggunaan bahasa Melayu ketika berbahas boleh dikenakan tindakan melalui bidang kuasa yang diperuntukkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959. Hasilnya, setiap perbahasan wakil-wakil rakyat di Parlimen ataupun di DUN bakal dipantau sepenuhnya oleh DBP, selaku Badan Berkanun yang diberikan kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pelanggaran penggunaan bahasa Melayu di negara ini.\nCadangan seterusnya ialah memperuntukkan satu undang-undang khas di bawah Akta Bahasa Kebangsaan atau Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 bagi mengekang penularan pencemaran bahasa yang berlaku di negara ini. Misalnya, pencemaran bahasa yang melibatkan isu \u201csekerat ular dan sekerat belut\u201d ataupun yang dikenali sebagai isu penggunaan bahasa rojak yang kian membarah dalam konteks penyiaran, penerbitan, pengiklanan dan yang seangkatan dengannya.\nCadangan ini juga dilihat seiring dengan usaha Kerajaan untuk memberikan kuasa penuh kepada DBP bagi menjamin keluhuran bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Permasalahan ini bukanlah sesuatu yang baharu dan sudah tumbuh sejak beberapa tahun yang lalu yang mewujudkan permasalahan ini yang mencemarkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia.\nOleh yang demikian, peruntukan undang-undang tersebut perlulah bersifat\u00a0 menyeluruh. Pencemaran bahasa yang semakin mengembang biak ini perlu diberikan satu kawalan yang berkesan bahkan lebih baik jika dapat dinoktahkan. Mana-mana pihak yang terlibat dan didapati bersalah dalam pelanggaran penggunaan bahasa Melayu (bahasa rojak atau yang seangkatan dengannya), maka tindakan tegas perlu diambil melalui bidang kuasa yang diberikan kepada DBP bagi memberikan pengajaran kepada pihak yang terlibat agar tidak lagi mengulangi pelanggaran penggunaan bahasa.\nPelaksanaan ini bukanlah sesuatu yang mustahil kerana beberapa siri pelaksanaan mekanisme kawalan yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan sebelum ini dalam perundangan telah berjaya membuahkan hasil. Sebagai contoh, Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988), iaitu peraturan wajib pemakaian pelitup separuh muka di kawasan yang menjadi tumpuan ramai ataupun di kawasan yang sesak. Kemudian, di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018, yakni satu peraturan yang berkaitan dengan larangan merokok di semua tempat makan di seluruh negara.\nKedua-dua contoh ini merupakan satu bentuk penguatkuasaan yang berbentuk mekanisme kawalan yang memperuntukkan bayaran denda ataupun kompaun. Yang lebih menggembirakan lagi, penguatkuasaan peraturan ini mendapat sokongan daripada semua pihak, lebih-lebih lagi sehingga hari ini yang menunjukkan kadar peratusan pematuhan berada pada tahap yang memberangsangkan.\nOleh sebab itu, isu pencemaran bahasa pada peringkat awal boleh ditangani dengan pelaksanaan peruntukan undang-undang mekanisme kawalan dan boleh dianalogikan keberhasilan usaha ini sekiranya dilaksanakan sebagai satu langkah sambil menyelam minum air. Dalam hal ini, kerajaan akan berjaya mengekang penularan pencemaran bahasa dan pada masa yang sama dapat mendidik masyarakat tentang keprihatinan mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan.\nDunia penyiaran, penerbitan dan pengiklanan atau yang seangkatan dengannya merupakan \u201cdunia\u201d yang membawa pengaruh besar kepada rakyat di negara ini. Medium yang terkandung dalam konteks ini menggunakan elemen bahasa sebagai instrumen bagi menyampaikan maklumat untuk disajikan kepada pendengar, penonton dan pembacanya. Ketika medium ini terus giat menyebarkan elemen yang bersaluti pelanggaran bahasa (bahasa rojak ataupun yang seangkatan dengannya), akhirnya hal itu menimbulkan satu kekeliruan kepada masyarakat.\nKekeliruan tersebut adalah tentang kewujudan sebenar asas penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kesemua ini hanya akan berjaya dikekang melalui perlaksanaan mekanisme kawalan yang berbentuk satu peruntukan undang-undang baharu di bawah Akta Bahasa Kebangsaan atau Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959. Jika sebelum ini teguran dan garis panduan telah dikemukakan untuk mengekang penularan ini tidak berkesan dan kurang mendapat sambutan, sudah tiba masanya satu penguatkuasaan yang komprehensif perlu dilaksanakan.\nTuntasnya, usaha murni Kerajaan untuk mengangkat dan menjulang bahasa Melayu memerlukan sokongan dan kerjasama daripada semua pihak. Pemimpin dan rakyat perlu berganding bahu bagi merealisasikan impian ini seiring dengan jalinan Keluarga Malaysia yang telah dibentuk. Tanpa sokongan dan kerjasama daripada ahli Keluarga Malaysia, sudah tentu matlamat dalam usaha ini tidak akan berupaya dicapai.\nSemoga usaha murni Kerajaan ini dapat mencapai matlamatnya sekali gus membuka mata segelintir rakyat di negara ini yang masih menganggap bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kuno dan bahasa kampung. Hakikatnya, kekuatan yang pada bahasa Melayu ini telah diperakui zaman-berzaman, yang pernah menjadi bahasa lingua franca dan tak lapuk dek hujan tak lekang dekak panas.\nUsaha ini juga menjadi bukti kepada semua pihak, iaitu sesungguhnya perjuangan memartabatkan bahasa Melayu tidak hanya sekadar bergema ketika malam baca puisi di ibu kota, tetapi juga menjadi semboyan utama perjuangan pemimpin negara." "Robot Air Zamzam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRiyadh: Kerajaan Arab Saudi mengumumkan jemaah haji yang mengunjungi Masjidil Haram di Mekah tidak perlu lagi beratur untuk menghilangkan dahaga. Hal ini demikian kerana robot akan memberikan air zamzam kepada para jemaah dan kakitangan masjid.\nRobot itu akan berjalan-jalan di sekitar masjid, bagi membolehkan jemaah dan kakitangan masjid mengambil sebotol air apabila robot ini mendekati mereka tanpa perlu beratur atau berkongsi sebotol air dengan orang lain.\nAbdulrahman al-Sudais, Presiden Presidensi Umum Urusan Dua Masjid Suci, (Masjidil Haram dan Masjid Nabawi) menegaskan Arab Saudi memperkenalkan beberapa langkah kebersihan demi menjaga keselamatan jemaah dan kakitangan masjid, khususnya ketika pandemik COVID-19. Satu daripada langkah tersebut adalah melalui penggunaan teknologi canggih.\nRobot pintar ini mengamalkan kebersihan kerana tidak menyentuh apa-apa objek, termasuklah manusia.\n(Berita dipetik daripada ArabNews.)" "Kes Demam Denggi Turun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kes demam denggi pada tahun ini menunjukkan trend penurunan sebanyak 75%. Jumlah kematian juga berkurangan sebanyak 91% berbanding dengan tahun 2020.\nMenurut Menteri Kesihatan Malaysia (KKM), Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba, dari Januari hingga 12 Jun 2021, kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 12 188, dengan lapan kematian akibat komplikasi demam denggi. Pada tahun 2020, kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 48 584, dengan 84 kematian.\nTambah beliau, usaha memerangi ancaman wabak demam denggi perlu diteruskan walaupun negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19. Oleh itu, masyarakat dinasihatkan agar membendung dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes secara konsisten. KKM mengharapkan usaha menangani denggi diteruskan agar rakyat Malaysia dapat menikmati kehidupan yang bebas dan selamat.\nHari Denggi ASEAN yang disambut pada 15 Jun setiap tahun bertujuan mewujudkan platform advokasi pelbagai pihak, termasuklah masyarakat sendiri untuk meneruskan usaha membanteras denggi secara berterusan dan bersepadu.\nTema sambutan Hari Denggi ASEAN pada peringkat kebangsaan ialah \u201c10 Minit Hapuskan Aedes\u201d. Berdasarkan tema ini, masyarakat diseru untuk meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit melakukan aktiviti pembersihan persekitaran dan pemusnahan tempat pembiakan Aedes pada setiap minggu di premis masing-masing." "Sakit Mental dalam Kalangan Kanak kanak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPeningkatan masalah kesihatan mental dan sakit mental, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di Malaysia berada pada tahap yang membimbangkan. Hal ini demikian kerana banyak kes masalah kesihatan mental dan sakit mental dilaporkan sejak kebelakangan ini.\nBerdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (TKMK) pada tahun 2019, kira-kira 15.9% \u00a0rakyat di negara ini didiagnosis hipertensi. Sebanyak 2.3% golongan dewasa mengalami kemurungan, manakala 7.9% golongan kanak kanak yang berumur antara lima tahun hingga 15 tahun mengalami masalah kesihatan mental, terutamanya masalah berinteraksi dengan rakan sebaya.\nLaporan TKMK sekitar tahun 2015 menunjukkan bahawa penduduk Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas mengalami pelbagai penyakit kesihatan mental. Sumber TKMK (2019) melaporkan sejumlah 424 000 orang kanak kanak mengalami masalah kesihatan mental di Malaysia. Pecahan prevalens kesihatan mental ini berasaskan domain utama, antaranya termasuklah masalah berinteraksi dengan rakan sebaya, masalah tingkah laku, masalah emosi, dan hiperaktif. Ternyata, data ini amat membimbangkan semua pihak.\nTerdapat beberapa faktor penyakit mental. Satu daripadanya berpunca daripada aspek fizikal individu. Sesetengah penyakit mental dikaitkan dengan ketidakseimbangan bahan kimia dalam otak, yang dinamakan pengutus saraf (neurotransmitter). Bahan kimia ini membolehkan sel-sel dalam otak saling berhubung. Apabila berlaku ketidakseimbangan dalam otak, maka sel-sel dalam otak tidak berfungsi.\nGenetik merupakan antara faktor utama penyakit mental. Ahli keluarga pesakit mental cenderung mengalami penyakit yang sama. Faktor psikologi menyumbang kepada gangguan mental. Sebagai contohnya, pengabaian oleh keluarga pesakit dan kegagalan membina hubungan dengan masyarakat. Hal ini disebabkan oleh sama ada individu (pesakit) mungkin kurang berkeyakinan ataupun pesakit pernah melakukan kesilapan hingga tidak pernah dimaafkan oleh orang lain.\nSejak dahulu, penyelidikan dan teori psikologi hanya tertumpu pada fenomena psikopatologi, penyakit mental, organ dalam badan tidak berfungsi dengan baik, gangguan, dan tekanan yang dihadapi oleh seseorang. Walau bagaimanapun, penyelidikan dari aspek positif psikologi memberikan satu cadangan lain, yang dikenali sebagai Dual Continua Model of Mental Illness\u00a0and\u00a0Health.\nHal ini bermaksud kesihatan mental dan sakit mental mempunyai kesinambungan yang berbeza, dan bukannya mempunyai satu spektrum. Tidak mempunyai tekanan diri belum cukup untuk menentukan tahap kesihatan mental seseorang itu. Kesihatan mental didorong oleh ketiadaan unsur psikopatologi seperti depressi dan kerisauan. Oleh itu, psikologi semula jadi harus menjadi pertimbangan.\nKesihatan mental yang positif adalah dari pelbagai aspek, antaranya termasuklah perasaan yang gembira dan berpuas hati dengan kehidupan, kesemua organ dapat berfungsi dengan baik dan memenuhi cita rasa diri dan keadaan masyarakat sekeliling yang positif.\nSesetengah perkara yang berlaku dengan masyarakat sekeliling boleh merangsangkan penyakit berkaitan dengan emosi bagi individu yang berisiko. Sebagai contohnya, kematian atau penceraian dan keluarga yang mempunyai banyak masalah.\nBerdasarkan konsep daripada falsafah Greek, keseronokan atau kegembiraan ialah perkara yang paling bernilai kepada seseorang. Hal ini demikian kerana perasaan seronok dan gembira akan menerbitkan kesan yang positif kepada seseorang dan sekali gus dapat menjauhi kesan yang negatif. Seseorang itu tidak perlu membandingkan dirinya dengan orang lain. Dalam persekitaran setiap manusia, pasti ada orang yang lebih beruntung. Belajarlah untuk menikmati hasil diri dan bandingkan keputusan pada hari ini dengan semalam.\nBerdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada tahun 2005, tiga komponen utama kesihatan mental ialah (1) kesejahteraan, (2) keberkesanan fungsi sebagai individu, dan (3) keberkesanan fungsi dalam masyarakat. Hal ini membuktikan bahawa kajian dalam aspek psikologi and sosiologi dapat memberikan penjelasan tentang kesihatan mental atau kesejahteraan individu.\nKonsep psikologi yang sihat muncul pada tahun 1990-an. Pada masa itu, para penyelidik memfokuskan kegembiraan dan emosi individu. Ahli psikologi positif menganggap aspek kesejahteraan sebagai eudaimonia, iaitu tanggapan keceriaan. Penyelidik pada masa ini, mendapati beberapa elemen yang membentuk psikologi yang positif. Sebagai contohnya, boleh menerima kenyataan diri sendiri. Sikap yang positif dan menerima diri seadanya pada masa lalu dan sekarang. Menerima keadaan diri adalah tidak mudah seperti membalikkan tapak tangan sendiri. Hal ini memerlukan masa yang panjang supaya dapat mengenali diri yang sebenar.\nElemen yang seterusnya ialah matlamat kehidupan seseorang. Setiap manusia mesti mempunyai matlamat dan tujuan yang boleh memberikan maksud dalam kehidupan hariannya. Mencapai matlamat sering kali menjadi lebih sukar. Oleh itu, seseorang itu hendaklah menyusun matlamat hidupnya satu demi satu dan tidak terburu-buru supaya cara kehidupan yang diinginkan dapat dikecapi.\nHubungan yang baik dengan masyarakat juga merupakan elemen yang dapat membentuk psikologi yang baik. Hubungan masyarakat merupakan upaya komunikasi menyeluruh untuk mempengaruhi persepsi keyakinan dan sikap berbagai-bagai kelompok terhadap usaha tersebut.\nSatu perkembangan utama dalam bidang psikologi ialah kemunculan psikologi yang positif yang didefinisikan oleh seorang pengasasnya, iaitu \u201cKajian ilmiah tentang apa-apa yang menjadikan kehidupan lebih berharga untuk dijalani\u201d. Menurut pakar psikoterapi dan kaunseling (kemurungan dan kebimbangan) Access Counselling Services, Dr. Meriam Omar Din, \u201cMasalah kesihatan mental dan sakit mental banyak berpunca dari dalam rumah apabila faktor persekitaran anak-anak yang mempunyai pengalaman pahit dialaminya sewaktu kecil (kanak-kanak)\u201d.\u00a0 Hal ini akan memberikan kesan jangka panjang yang serius hingga kanak-kanak itu dewasa. Dan, faktor ini berkemungkinan menjadi penyumbang kepada data NHMS seperti yang dilaporkan.\nBidang psikologi berusaha untuk memperbaik masalah kesihatan mental dan sakit mental dengan memasukkan alat dan kaedah sains kontemporari untuk tugas menyelidik kebahagiaan dan kesejahteraan individu. Namun begitu, usaha untuk mempromosikan psikologi positif mendapat kritikan mengenai konsepnya dan kaedahnya.\nPsikologi positif juga dikritik kerana bidang ini menjadi alat kawalan sosial dan hanya menumpukan perhatian pada masalah serta penyelesaian tahap individu dan bukannya pada kekuatan struktur yang dapat membentuk kehidupan manusia dengan lebih kuat. Perbezaan budaya, penilaian yang subjektif dan teori profesional mempengaruhi takrifan kesihatan mental.\nKesihatan mental merupakan kesejahteraan individu dan kemampuan masyarakat berfungsi secara efektif. Kesihatan mental ialah ekspresi emosi dan melambangkan keupayaan untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai tekanan dan tuntutan hidup.\nMenurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kesihatan mental merangkumi kesejahteraan subjektif; keberkesanan diri; autonomi; kecekapan kebergantungan antara generasi, dan penghakikian diri atau potensi intelektual kendiri dan emosi antara individu dengan individu lain.\nAspek kesihatan mental yang positif merujuk individu. Untuk menambahkan keyakinan diri, individu itu hendaklah yakin terhadap keadaan sosial disekeliling. Oleh itu, penilaian menyeluruh terhadap kesejahteraan mesti merangkumi kesejahteraan sosial.\nMenurut ahli sosiologi yang berpengaruh, iaitu Corey Keyes dari Emory University, terdapat beberapa elemen kesejahteraan sosial. Satu daripadanya ialah hubungan dan perpaduan di dalam satu kumpulan. Dengan cara ini, elemen kesejahteraan dapat memberikan maksud tentang perkara yang akan berlaku dengan masyarakat sekeliling.\nPenerimaan sosial melibatkan juga aspek tingkah laku sosial. Apabila individu itu mempunyai tingkah laku yang baik, maka individu itu dapat mempengaruhi masyarakat supaya senang untuk mempercayainya dan bergaul dengannya. Penerimaan sosial boleh mempengaruhi kanak-kanak, remaja dan orang dewasa. Penerimaan sosial juga boleh mempengaruhi individu daripada semua peringkat umur dengan kecacatan mental. Hal ini demikian kerana penerimaan sosial menentukan banyak keputusan yang dibuat dalam kehidupan.\nKesimpulannya, seseorang itu mestilah menunjukkan tingkah laku dari segi emosi, psikologi dan sosial yang baik supaya dia dianggap sihat sepenuhnya. Aspek kesihatan mental positif yang baharu ini mesti dipertimbangkan supaya bersamaan dengan penyakit mental tradisional.\nImplikasi model baharu ini memberikan kesan yang sama seperti menilai prospek masa depan kewangan individu yang mesti merangkumi liabilitinya dan asetnya. Begitu juga dengan percubaan kita untuk meramalkan hasil kesihatan masa depan yang merangkumi ukuran penyakit mental dan kesihatan mental yang positif.\nMasyarakat perlu bersama-sama memerangi penyakit mental untuk melindungi dan meningkatkan kesihatan mental individu. Masalah mental boleh dirawat sekiranya setiap individu memainkan peranan dengan sentiasa peka terhadap keadaan pesakit. Hal ini penting sebagai satu usaha untuk mendapatkan rawatan awal. Setiap keluarga perlu sentiasa peka terhadap kemurungan anak-anak. Selain itu, setiap keluarga juga perlu merujuk pakar psikiatri jika berlaku perkara yang tidak normal terhadap tingkah laku atau pemikiran anak anak.\nDr. Ahmad Fikri Hj. Mohd Kassim ialah Ketua Pusat Pengajian, Fakulti Sains dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Kampus Arau, Perlis." "\u201cMinum air\u201d Maksud Ronaldo Tolak Minuman Bergas\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAtlet terkenal Cristiano Ronaldo terkenal dengan pendekatan yang tegar terhadap kecergasan. Tidak mengejutkan ketika pemain bola sepak legenda itu menjadi berita utama setelah mendedahkan satu tabiat sihatnya pada sidang media Euro 2020 pada 16 Jun 2021.\u00a0 Dengan mengangkat sebotol air mineral dan mengucapkan \u201cagua\u201d, Ronaldo memilih air dan menolak dua botol minuman bergas popular itu. Ronaldo terkenal kerana cuba menghindari gula dalam dietnya. Dalam sidang media itu, dia memutuskan bahawa tubuhnya hanya memerlukan air dengan alasan yang baik.\nJika pakar pemakanan mungkin gembira melihat kapten bola sepak Portugal menolak minuman bergas itu, pelabur pula kurang senang setelah nilai pasaran syarikat tersebut turun lebih dari \u20ac3.2 billion. Harga saham syarikat yang menjadi penaja Euro 2020 juga turun 1.6 peratus akibat tindakan pemain berusia 36 tahun itu.\nMenurut Institut Perubatan di Amerika Syarikat, pengambilan cecair yang mencukupi untuk orang dewasa adalah sekitar 2.7 liter sehari untuk wanita, 3.7 liter untuk lelaki, dan lebih banyak lagi jika anda berpeluh kerana cuaca panas atau melakukan aktiviti." "Vaksin Sukar Dihasilkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSebenarnya, bukan mudah untuk menghasilkan sesuatu vaksin. Kebiasaannya, proses ini mengambil masa antara 12 tahun hingga 15 tahun. Terdapat enam fasa penghasilan vaksin, iaitu fasa penyelidikan (exploratory), fasa kajian praklinikal (preclinical study), fasa kajian klinikal, fasa regulatori, fasa penghasilan, dan fasa kawalan kualiti.\nFasa yang paling penting ialah kajian klinikal. Pada fasa ini keselamatan dan keberkesanan vaksin dibuktikan secara saintifik. Fasa ini akan melibatkan ribuan peserta kajian. Pada fasa ini juga, kesan sampingan akan dikenal pasti dan julatnya dicatatkan. Kebiasaannya, fasa kajian ini memakan masa antara dua tahun hingga empat tahun. Namun begitu, disebabkan perlunya vaksin untuk menghentikan pandemik COVID-19, pihak regulatori Food and Drug Administration (FDA) di Amerika Syarikat telah memberikan pengecualian dan meluluskan penggunaan vaksin ini di bawah Emergency Use Authorization (EUA). Walau bagaimanapun, perlu difahami bahawa keselamatan dan keberkesanan vaksin ini sudah terbukti sebelum kelulusan penggunaannya diberi kepada penerimanya." "Pelantar Penerbitan Digital DBP Memanifestasikan Kreativiti Merealisasikan Inovasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nMaka berpesanlah orang tua-tua, \u201cPatah kepala bertongkat paruh, patah paruh bertelekan, dan patah dihubung hilang diganti\u201d yang berupa kata-kata motivasi untuk sesiapa sahaja agar terus berusaha dengan tiada berputus harap, sekali gus sentiasa bersiap siaga untuk melakukan apa-apa juga perubahan demi mewajarkan serta meluhurkan keberadaan masing-masing.\nSesebuah organisasi bahasa dan persuratan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang sudah lebih 60 tahun bergelut dalam pelbagai perubahan persekitaran ekonomi, politik dan perundangan, budaya dan sosial, demografi, teknologi, dan pendidikan yang cukup mencabar, harus melakukan perubahan sesuai dengan perkembangan semasa, khususnya yang berkaitan dengan perubahan persekitaran teknologi maklumat dan komunikasi serta Dasar Digital Negara. Oleh hal yang demikian, DBP juga menyahut seruan kerajaan, dan tuntutan rakyat agar melaksanakan pendigitalan perkhidmatannya secara menyeluruh serta mendigitalkan berbagai-bagai produk penerbitannya agar dapat diakses dan dinikmati dengan mudah, pantas, cekap dan berkesan.\nLangkah bijak dan komprehensif yang diambil oleh DBP adalah dengan membangunkan pelantarnya sendiri yang dikenali sebagai pelantar penerbitan digital DBP, dan yang nantinya dikenali dengan nama komersialnya, JendelaDBP. JendelaDBP yang merupakan pusat hentian setempat itu dibangunkan, antara lain atas pertimbangan dan kewajaran yang berikut:\nJendelaDBP yang dibangunkan itu merangkumi lima struktur utama, iaitu:\nSecara lebih khusus pembangunan JendelaDBP adalah bertujuan untuk:\nSohor Kini merupakan ruangan yang memaparkan pelbagai berita popular yang berkaitan dengan fungsi DBP terutamanya bahasa, sastera dan penerbitan. Selain berita, ruangan ini turut menyiarkan artikel tersohor atau termashyur mengikut kenaan bagi memancing minat khalayak untuk sentiasa melayari JendelaDBP. Beberapa berita dan artikel yang menjadi pilihan editor juga dipaparkan pada ruangan ini. Hal ini bermakna Sohor Kini dijangka menjadi wahana untuk menyiarkan dan memaparkan pelbagai berita, aktiviti dan sebagainya yang sebelum ini kurang mendapat perhatian daripada pelbagai agensi penyiaran di negara ini.\nRuangan \u201ce-Majalah\u201d memuatkan berita dan artikel yang bersifat terkini mengikut lapan kategori majalah, iaitu Dewan Bahasa, Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Dewan Ekonomi, Dewan Kosmik, Dewan Tamadun Islam,\u00a0dan Tunas Cipta. Kandungan e-majalah yang diterbitkan merupakan kandungan baharu yang berbeza dengan kandungan majalah bercetak. Hal ini bagi memastikan berita dan artikel terkini dapat disebarluaskan secara cepat kepada khalayak.\nRuangan \u201cUjana\u201d pula memaparkan produk penerbitan bercetak dan digital seperti e-buku dan i-buku (aplikasi) dalam berbagai-bagai bidang. Produk ini dijual melalui kaedah muat turun sebahagian atau semua kandungan atau langganan dalam format PDF, EPUB, APK, dan IPA.\nSelain itu, para pendengar dan penonton di serata Malaysia, dan seantero dunia yang mendambakan aneka isu, berita dan maklumat tentang DBP, resensi buku, aktiviti bahasa, acara sastera dan sebagainya sudah pasti akan lebih mudah menikmatinya melalui pelantar ini tanpa perlu hadir secara fizikal. Segala maklumat itu dapat diakses di mana-mana sahaja mereka berada dengan mudah dan cepat, asalkan ada liputan Internetnya. Bagi mereka yang terlepas peluang mendengar Radio DBP dan menonton TV DBP, mereka boleh mendapatkannya melalui siaran ulangan pada pelantar tersebut.\nSementara itu, pelantar penerbitan digital DBP menjadi medium saluran pemasaran dan promosi pelbagai aktiviti dan produk terbitan DBP serta pihak luar. Melalui medium ini, DBP akan secara giat dapat memasarkan produk terbitannya dengan lebih mudah dan berkesan.\nSesungguhnya, pelantar penerbitan digital DBP merupakan satu daripada pelan transformasi yang dijangka akan membolehkan DBP menambah baik, mempelbagaikan dan mencekapkan sistem penyampaiannya. Oleh itu, pembangunan pelantar penerbitan digital DBP sudah pastinya akan melonjakkan nama DBP sebagai agensi kerajaan yang melangkah ke hadapan untuk menyediakan generasi kakitangan DBP yang fasih digital, sekali gus ikut serta memberikan sumbangan bermakna kepada usaha kerajaan dalam memperkasakan ekonomi digital negara.\nAkhirulkalam, inisiatif dan usaha jitu DBP membangunkan pelantar penerbitan digitalnya ibarat kereta kencana yang membawa DBP ke arah dunia pendigitalan, dan secara tidak langsung menyumbang ke arah menjadikan Perkhidmatan Awam Malaysia lebih berwibawa yang dipacu oleh ilmu dan teknologi baharu." "Perisa Vanila daripada Sisa Plastik?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\nPada masa akan datang, aiskrim vanila anda mungkin dibuat daripada botol plastik. Para saintis menemukan cara untuk menukarkan sisa plastik menjadi perisa vanila dengan bakteria genetik, menurut satu kajian baharu.\nVanilin, sebatian yang membawa sebahagian besar bau dan rasa vanila, dapat diekstrak secara semula jadi daripada kacang vanila atau dibuat secara sintetik. Kira-kira 85% vanilin kini dibuat daripada bahan kimia yang diambil daripada bahan bakar fosil, menurut The Guardian.\nVanilin terdapat dalam pelbagai jenis produk makanan, kosmetik, farmaseutikal, pembersihan, dan racun herba. Permintaannya \u201cberkembang pesat,\u201c menurut penulis dalam kajian itu. Pada tahun 2018, permintaan global untuk vanilin adalah sekitar 40 800 tan (37 000 tan metrik), dan dijangka meningkat menjadi 65 000 tan (59 000 tan metrik) menjelang tahun 2025, menurut kajian yang diterbitkan pada 10 Jun dalam jurnal Green Chemistry.\n(Sumber: livescience.com)" "Kesan Emosi PKP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPenularan wabak COVID-19 di seluruh dunia menyebabkan berlakunya perubahan besar dalam kehidupan masyarakat. Kebanyakan negara telah mengambil langkah yang proaktif dalam menangani wabak ini daripada terus menular. Sebagai contohnya, di Malaysia, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula sejak 18 Mac 2020. Pelaksanaan PKP ternyata meninggalkan kesan yang cukup besar bukan sahaja dari aspek fizikal, tetapi juga aspek mental masyarakat Malaysia.\nKajian psikologi yang dijalankan mengenai Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS), mendapati bahawa tempoh PKP atau kuarantin mempunyai hubungan signifikan dengan isu psikologi seperti tekanan emosi. Secara psikologinya, seseorang itu akan cenderung menghadapi corak pemikiran negatif yang boleh menjejaskan emosi mereka sepanjang pelaksanaan PKP. Penaung Pertubuhan Befrienders Kuala Lumpur, Tan Sri Lee Lam Thye menyatakan bahawa COVID-19 dilihat membawa ketakutan, kebimbangan dan tekanan melampau dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat.\nSecara umumnya, kesan psikologi kuarantin, antaranya termasuklah simptom pascastres traumatik, kemurungan, gangguan emosi, keresahan yang menyebabkan insomnia, kekeliruan, kecenderungan pengambilan bahan terlarang, dan kemarahan. Hal ini berpunca daripada ketakutan dijangkiti wabak, kehampaan, kebosanan akibat kuarantin yang terlampau lama, stigma, bekalan makanan tidak cukup, maklumat tidak lengkap, dan kehilangan punca pendapatan. Kaji selidik dalam talian oleh Kajian Pentadbiran dan Politik (Cent-GPS) mendapati bahawa 30% responden kehilangan pendapatan semasa tempoh PKP dilaksanakan.\nPakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari menyatakan bahawa penyesuaian terhadap PKP boleh membawa kepada keresahan jika tidak difahami dan dimanfaatkan sebaiknya. Hal ini demikian kerana naluri manusia dikaitkan dengan bersosial dan bebas bergerak tanpa sekatan. Situasi ini boleh mendorong berlakunya kes keganasan rumah tangga.\nPelaksanaan PKP di luar negara seperti di India, Perancis dan Australia\u00c2\u00a0 menyebabkan peningkatan mendadak kes keganasan rumah tangga. Walaupun kes keganasan rumah tangga di Malaysia dilaporkan sedikit menurun semasa pelaksanaan PKP, tetapi hal ini tetap menimbulkan sedikit kebimbangan. Hal ini demikian kerana mangsa mungkin tidak dapat lari daripada situasi tersebut selain tiada tempat untuk mengadu kerana banyak perkhidmatan yang tidak beroperasi.\nGolongan yang paling terjejas emosi ketika pandemik COVID-19 dan PKP ini ialah pekerja barisan hadapan. Petugas kesihatan, polis, tentera, dan sebagainya terpaksa berhempas-pulas bekerja lebih masa dalam usaha menangani pandemik ini. Bebanan kerja yang meningkat hingga kurangnya masa rehat menyebabkan petugas kesihatan semakin letih dan lesu. Menurut Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr. Firdaus Abdul, berita mengenai petugas kesihatan di luar negara yang disyaki menghidap COVID-19 membunuh diri adalah contoh tekanan dan kesan emosi yang ketara.\nTuntasnya, COVID-19 dan pelaksanaan PKP sedikit sebanyak memberikan kesan kepada aspek emosi seseorang. Namun begitu, PKP sebenarnya memberikan kesan minimum kepada kesihatan mental. Kita perlu melihat situasi dan tindakan ini dari sudut positif dan tidak terus berkeluh-kesah menghadapinya. Ambillah peluang dan kesempatan ini untuk meluangkan lebih banyak masa bersama-sama keluarga, mendekatkan diri dengan Tuhan, mengamalkan diet pemakanan yang sihat, bersenam dan beriadah, melakukan pelbagai aktiviti yang baik dan sesuai, dan sebagainya di rumah." "\u201cBahtera Nabi Nuh\u201d dalam Bidang Sains?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMisi Earth 300 adalah untuk memastikan kelangsungan hidup manusia dengan menangani ancaman terbesar, terutamanya masalah alam sekitar dan ekologi. Secara khususnya, pasukan pakar di sebalik kapal ini berupaya mengatasi masalah kritikal kini, antaranya termasuklah pelepasan karbon, pencemaran, degradasi ekosistem, keselamatan air dan makanan, dan ketahanan kesihatan global.\nEarth 300 dilengkapi 22 buah makmal, dapat menampung 160 orang saintis dan 20 orang pakar dari seluruh dunia yang tinggal dan bekerja di dalam kapal layar super (superyacht) ini. Mereka dapat mengakses alat canggih berkaitan dengan Kecerdasan Buatan, robotik, pembelajaran mesin, dan pemprosesan data masa nyata.\nSetia dengan misinya, kapal layar super yang bersaiz 300 meter panjang dan 60 meter tinggi ini menggunakan tenaga nuklear yang 100% bebas pelepasan, yang dihasilkan oleh Molten Salt Reactor. Earth 300 akan menghabiskan masa 300 hari setahun di laut, melakukan penyelidikan sambil berlayar.\n(Diolah daripada TNW News)" "Penjejak Malaria Dilancarkan untuk Membantu Negara Komanwel yang Terjejas\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPenjejak (tracker) malaria dilancarkan untuk membantu negara Komanwel memantau kemajuan ke arah mengurangkan kes malaria pada tahun 2023, dan akhirnya mengakhiri penyakit ini pada tahun 2030.\nPenjejak malaria ini dikembangkan oleh sekumpulan pakar malaria dan Sekretariat Komanwel. Penjejak ini akan dilancarkan pada minggu ini di Sidang Kemuncak Kigali di Rwanda mengenai Penyakit Malaria dan Tropika yang bermula dari 21 Jun hingga 26 Jun 2021.\nPara pemimpin Komanwel pada tahun 2018 komited untuk mengurangkan sebanyak 50% daripada wabak dan kadar kematian akibat malaria di seluruh negara Komanwel setidak-tidaknya pada akhir tahun 2019 dan menjelang tahun 2023. Pengurangan ini akan mencegah berjuta-juta kes malaria dan menyelamatkan banyak nyawa.\nBercakap menjelang pelancaran itu, Setiausaha Jeneral Komanwel The Rt Hon Patricia Scotland QC mengatakan bahawa \u201cWalaupun COVID-19 telah menarik perhatian dan sumber daya dunia, hal ini juga sama pentingnya kepada kita untuk terus fokus pada komitmen malaria dan keadaan kesihatan yang lain. Membiarkan diri kita terganggu akan mengakibatkan kerosakan yang tidak dapat diperbaik terhadap kesihatan dan keselamatan manusia.\u201c\nBercakap selepas pertemuan itu, Menteri Kesihatan Rwanda, Dr. Daniel Ngamige mengatakan bahawa \u201cKita harus kembali ke landasan untuk memenuhi komitmen bagi mengurangkan malaria pada tahun 2023 dan mempercepat kemajuan menuju penghapusan dengan komitmen global dan serantau.\u201d\nBeliau menjelaskan bahawa pelaburan untuk mengalahkan malaria bukan hanya akan menyelamatkan 217 000 nyawa di negara Komanwel setiap tahun, tetapi juga akan memberikan kesan tambahan terhadap penguatan sistem kesihatan keseluruhan yang dilengkapi dengan baik untuk mengatasi wabak dan melindungi semua warga negara Komanwel.\nKami berharap dapat bekerjasama dengan rakan-rakan Komanwel untuk memastikan Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (Commonwealth Heads of Government Meeting (CHOGM)) yang berikutnya akan menjadi tunggak utama, iaitu tanggungjawab bersama-sama kami terhadap komitmen mempercepat kemajuan untuk mengalahkan malaria.\nPenjejak digital malaria menawarkan paparan interaktif untuk membantu pemimpin negara anggota memantau sasaran dalam bentuk grafik dan peta di samping mengenal pasti bidang yang perlu diperbaik. Penjejak malaria dihasilkan oleh agensi global yang pengalaman kreatif, iaitu Isobar sebagai sebahagian daripada perkongsian pro bono syarikat dan komitmen berterusan terhadap Malaria No More UK. Sementara, kepakaran teknikal diperoleh daripada African Leaders Malaria Alliance, Asia Pacific Leaders Malaria Alliance, RBM Partnership to End Malaria, Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dan Malaria No More UK.\n(Sumber: media Commonwealth)" "Guna Bahasa Melayu dalam Penulisan Dokumen Rasmi Agensi Kerajaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPengkalan Hulu \u2212 Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dengan kerjasama Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganjurkan Program Bimbingan Pemantapan Tatabahasa dan Penulisan Dokumen Rasmi untuk pegawai, anggota dan kakitangan am Batalion 18 PGA, yang terlibat secara langsung dalam urusan surat menyurat berakhir dengan\u00a0 jayanya semalam. Program ini bertujuan mempersegar penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan warga Senoi Praaq, yang merupakan kumpulan elit dalam PDRM kerana anggotanya terdiri daripada suku kaum Orang Asli yang sangat mahir dalam urusan menjejak musuh di hutan.\nSetelah Parti Komunis Malaya (PKM) menandatangani Perjanjian Damai dengan kerajaan Malaysia dan Thailand pada tahun 1989 di Haadyai, Thailand, anggota Senoi Praaq lebih banyak ditugaskan dalam operasi di sempadan, menjejaki orang hilang di hutan dan menjalankan tugas khas di bandar serta urusan pentadbiran. Oleh yang demikian, program ini secara langsung dapat membantu memantapkan penguasaan bahasa Melayu mereka, di samping menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul.\nProgram bimbingan pada kali ini menampilkan Munsyi Dewan (Bahasa), Encik Mohd. Januri Aiyub, Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim (IPGKSAH), Sungai Petani, Kedah, sebagai pembimbing.\nDeputi Superintenden Polis (DSP) Mohd Sail Hassan, Penolong Pegawai Pemerintah, Batalion 18 PGA, dalam ucapan perasmian penutupan program menegaskan bahawa bahasa Melayu amat penting sebagai bahasa kebangsaan negara ini dan perlu digunakan dengan baik dan betul dalam penulisan dokumen rasmi agensi kerajaan seperti PDRM, walaupun tugas utama anggota keselamatan ini ialah \u201cmemegang senjata\u201d. Beliau sendiri amat menggalakkan kakitangannya menulis dokumen rasmi dengan menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul.\nSehubungan dengan itu, beliau turut berhasrat untuk memanjangkan program yang julung-julung kali diadakan ini supaya dapat diperkembangkan atau dipanjangkan ke peringkat Briged Utara PGA yang terdiri daripada empat Batalion. Menurutnya lagi, pelaksanaan program bimbingan seperti ini seharusnya diadakan dari semasa ke semasa, malah beliau telah menyebut perkara ini dalam mesyuarat pada peringkat Briged dan telah mendapat persetujuan daripada pihak pengurusan Briged.\nBeliau turut menegaskan bahawa usaha untuk memantapkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam dokumen rasmi perlu menjadi tanggungjawab semua pihak. Oleh itu, beliau amat berterima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang melaksanakan program seumpama ini dan kepada IPGKSAH kerana memberikan peluang kepada Encik Mohd Januri untuk membimbing program yang berlangsung selama dua hari ini, iaitu pada 21 Mac hingga 22 Mac 2022 di Dewan Latihan Batalion 18 PGA, dengan penglibatan 33 orang peserta pelbagai pangkat.\nEncik Mohd Januri pula menyarankan agar semua peserta membiasakan diri dengan penggunaan bahan rujukan dan kamus secara dalam talian, iaitu Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang dibangunkan oleh DBP. Hal ini kerana maklumat bahasa Melayu hanya berada di hujung jari sahaja.\n\u201cJika tuan atau puan memerlukan maklumat tentang istilah, makna atau khidmat nasihat bahasa, jangan segan-segan untuk melayari PRPM,\u201d katanya." "Lawatan Maya di Taman Buaya dan Rekreasi Melaka\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada 18 Jun 2021 hingga 20 Jun 2021, Taman Buaya dan Rekreasi Melaka menganjurkan lawatan maya kepada para pengunjung yang berminat. Lawatan maya tersebut menggunakan aplikasi Google Meet dan Zoom. Lawatan maya yang dianjurkan adalah untuk mendapatkan dana pengurusan haiwan di taman tersebut. Ternyata, sambutan yang diterima daripada masyarakat amat memberangsangkan sejak program tersebut diumumkan dalam laman Facebook Taman Buaya dan Rekreasi Melaka.\nSejak pandemik COVID-19 melanda negara dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), zoo dan taman haiwan tidak lagi menerima kunjungan orang ramai. Hal ini menyebabkan dana pengurusan haiwan berkurangan hingga mengakibatkan haiwan-haiwan tersebut kekurangan gizi dan kelaparan.\nSelain program lawatan maya, pihak pengurusan Taman Buaya dan Rekreasi Melaka juga menganjurkan Program Adopsi Terbuka Haiwan. Program tersebut bertujuan menggalakkan penyertaan masyarakat yang berminat untuk membantu dana pengurusan haiwan di Taman Buaya dan Rekreasi Melaka.\nProgram lawatan maya diadakan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sebanyak dua sesi. Setiap sesi mengambil masa kira-kira satu jam setengah. Harga tiket lawatan maya ialah RM7.00 seorang. Dalam tempoh satu jam setengah tayangan video secara langsung, para peserta dapat mempelajari pelbagai ilmu berkaitan dengan haiwan. Selain buaya, haiwan lain yang terdapat di taman rekreasi tersebut antaranya termasuklah ular, rusa, merak, kura-kura, penyu, dan lain-lain.\nYang menariknya, peserta juga boleh melihat demonstrasi petugas taman rekreasi memberi buaya makan. Walaupun sekadar lawatan maya, tetapi kebanyakan peserta teruja dan berpuas hati kerana berpeluang melihat haiwan secara dekat untuk pertama kali. Peserta juga boleh bertanyakan apa-apa soalan kepada petugas taman rekreasi. Bagi mereka, lawatan tersebut seolah-olah mereka sedang menonton rancangan dokumentari di televisyen secara langsung, santai, mesra penonton, dan interaktif.\nZoo dan taman haiwan yang lain di Malaysia boleh mencontohi program tersebut untuk mendapatkan dana pengurusan haiwan. Hal ini demikian kerana sambutan daripada masyarakat sangat menggalakkan. Rata-rata ibu bapa merebut peluang keemasan menyertai lawatan maya tersebut untuk mengisi masa lapang anak-anak mereka dengan aktiviti yang berfaedah di samping mengurangkan kebosanan anak-anak mereka dalam tempoh PKP." "Bumi Ada Lima Lautan, Bukan Empat!\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada 8 Jun 2021 yang lalu, bersempena dengan Hari Lautan Sedunia, National Geographic Society mengumumkan bahawa mereka akan melabelkan Lautan Selatan sebagai lautan kelima di peta planet bumi.\nTerletak di hujung paling selatan bumi, Lautan Selatan mengelilingi Antartika seperti cincin raksasa. Kadang-kadang disebut Lautan Antartika, arusnya mengalir di seluruh benua dalam lingkaran yang sangat besar, mendorong sejumlah besar air sejuk ke lautan lain." "Teknologi 4IR Mencipta Dunia Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMalaysia bakal menyaksikan transformasi sosioekonomi berdasarkan teknologi 4IR. Teknologi 4IR merangkumi dunia fizikal, digital dan biologi, termasuklah bidang robotik, percetakan 3 Dimensi (3D) dan kecerdasan buatan (artificial intelligence (AI)).\nTeknologi ini bertujuan menjadikan sebuah dunia baharu seperti pemanduan automatik bagi mengelakkan kemalangan, pengendalian segala urusan dengan lebih pantas dan penggunaan teknologi yang mencipta persekitaran yang lebih baik yang mengurangkan pencemaran.\nSaksikan Majlis Pelancaran Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara secara langsung di Facebook Unit Perancang Ekonomi (laman rasmi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)), dan di laman web www.4irnegara.gov.my pada 1 Julai 2021 (Khamis), pukul 9.00 pagi." "Katak dalam Manusia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPara saintis telah mencipta robot penyembuhan diri yang pertama di dunia menggunakan sel induk (sel stem) katak cakar Afrika. Dinamakan Xenobot daripada nama saintifik katak cakar Afrika (Xenopus laevis).\nLebar Xenobot kurang daripada satu milimeter (0.04 inci) \u2013 cukup kecil untuk bergerak dalam tubuh manusia. Xenobot dengan anggota belakang yang besar dan bahagian bawah kaki yang lebih kecil, berlapis dengan otot jantung merah.\nXenobot boleh berjalan dan berenang, bertahan selama berminggu-minggu tanpa makanan dan bekerjasama dalam kumpulan. Xenobot dapat bertahan dalam persekitaran berair tanpa nutrien tambahan selama berhari-hari atau berminggu-minggu, menjadikannya sesuai untuk menghantar ubat ke dalam tubuh manusia.\nSel stem ialah sel yang tidak khusus yang mempunyai kemampuan untuk berkembang menjadi pelbagai jenis sel. Para penyelidik mengikis sel stem hidup daripada embrio katak, dan membiarkannya diinkubasi. Kemudian, sel-sel itu dipotong dan dibentuk kembali menjadi \u201cbentuk tubuh\u201c khusus yang dirancang oleh komputer super.\nXenobot mempunyai kemampuan penyembuhan diri. Ketika para saintis memotong satu robot, robot itu akan sembuh dengan sendirinya dan terus bergerak.\nXenobot tidak kelihatan seperti robot tradisional. Robot ini tidak mempunyai peralatan berkilau atau lengan robot. Sebaliknya, Xenobot kelihatan seperti gumpalan kecil daging merah jambu yang bergerak. \u201cMesin biologi\u201c ini dapat melakukan tugas yang tidak dapat dilakukan oleh robot keluli dan plastik.\nXenobot dapat digunakan untuk membersihkan sisa radioaktif, mengumpulkan mikroplastik di lautan, membawa ubat ke dalam tubuh manusia, atau pergi ke arteri manusia untuk mengikis plak.\nXenobot juga dapat membantu para penyelidik mempelajari lebih lanjut mengenai biologi sel \u2013 membuka pintu untuk kemajuan masa depan bagi kesihatan manusia dan kelanjutan usia.\n(Sumber: Diolah daripada tulisan Jessie Yeung, CNN)" "Rakyat Terlibat Pulihkan Ekosistem Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Program Pena Editor \u2013 Bicara Karyawan Dewan Kosmik, \u201cBersama-sama Pulihkan Ekosistem Kita\u201d, yang disiarkan secara langsung dari Studio Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka pada hari ini, menerima sambutan baik daripada khalayak.\nProgram yang diadakan bersempena dengan Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada 5 Jun setiap tahun itu dijayakan oleh Pengarah Komunikasi dan Strategik, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Zuraini Ahmad Tajudin. Bertepatan dengan tema Hari Alam Sekitar Sedunia pada tahun ini, iaitu \u201cPemulihan Ekosistem\u201d, beliau mengupas isu berkaitan dengan pengurusan dan pelestarian alam sekitar yang menjadi tanggungjawab bersama semua pihak, bukan hanya terletak di bahu JAS.\nMenurut Zuraini, tanggungjawab terhadap segala pencemaran atau kerosakan alam sekitar tidak tertakluk kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 semata-mata, tetapi menjurus kepada kawalan pelepasan industri dan pembangunan. Pada masa yang sama, agensi awam dan swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan, dan masyarakat juga perlu berperanan dan bertanggungjawab menjaga alam sekitar.\nAntara usaha yang dilakukan oleh JAS untuk menambah baik pengurusan alam sekitar ialah meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan menimbang tara keperluan pembangunan atau apa-apa sahaja yang berkaitan dengan alam sekitar. Satu daripada perkara yang akan dipinda ialah denda yang dikenakan kepada pesalah yang melanggar elemen dalam akta ini.\nTambah Zuraini lagi, terdapat pasukan khas yang memantau dan membuat pemeriksaan di kilang-kilang di setiap daerah dan negeri setiap hari mengikut jadual yang ditetapkan oleh JAS, terutamanya di kilang-kilang yang pernah membuat kesalahan, kilang yang besar dan kilang yang dijangkakan menghasilkan bahan buangan terjadual yang banyak. Dalam hal ini, JAS juga memberikan tumpuan kepada semua aduan yang diterima.\nUsaha yang dilakukan oleh JAS juga seiring dengan usaha yang dilakukan oleh pihak pengurusan alam sekitar di negara maju. Hal ini demikian kerana apa-apa sahaja usaha yang dilakukan oleh JAS adalah berpandukan program alam sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.\nMemandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang membangun, JAS terus berusaha mengadakan pelbagai program pada pelbagai peringkat, bermula dari peringkat sekolah agar setanding dengan usaha yang dilakukan oleh negara maju.\nProgram Rakan Alam Sekitar yang mempunyai lebih 150 000 orang rakan mendaftar digerakkan oleh JAS untuk terlibat dalam pelbagai program dan aktiviti alam sekitar, antaranya termasuklah mendaki sambil mengutip sampah, pembersihan pantai dan penanaman pokok. Webinar dan wacana tentang alam sekitar turut diadakan secara dalam talian berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara ini.\nJAS juga akan menganjurkan Debat Alam Sekitar (dari 3 Ogos 2021 hingga 8 Ogos 2021) yang bertujuan menggalakkan penyertaan institut pengajian tinggi\u00a0 (IPT) awam dan IPT swasta untuk mengupas pemikiran mahasiswa tentang alam sekitar. Selain itu, JAS akan menganjurkan forum \u201c3 Minit Tesis\u201d yang memerlukan mahasiswa mengemukakan kajian tentang alam sekitar yang dilakukan oleh IPT masing-masing dalam tempoh tiga minit untuk diaplikasikan kepada orang ramai.\nZuraini berpendapat bahawa rakyat Malaysia perlu berperanan dan bertanggungjawab memulihkan dan memulihara alam sekitar. Hal ini agar kehidupan yang berkualiti dapat dikecapi dengan wujudnya ekosistem yang baik dan seimbang, bermula dengan tindakan yang kecil, tetapi penting. Sebagai contohnya, mengasingkan sisa sampah sama ada plastik, kertas ataupun sisa makanan supaya dapat diuruskan dengan baik dan dikitar semula.\nBeliau menambah bahawa masyarakat Malaysia juga perlu berjimat cermat menggunakan elektrik dan air kerana tindakan ini mampu memulihkan ekosistem negara. Beliau berharap Malaysia berupaya mengecap pembangunan lestari yang seimbang antara ekonomi dengan alam sekitar." "Bas Pusat Pemberian Vaksin Mobiliti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Timbalan Menteri Kesihatan I, Dato\u2019 Dr. Noor Azmi Ghazali menghadiri lawatan kerja rasmi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Bangi Golf Resort, Selangor pada hari ini. Kedatangan beliau disambut oleh Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dato\u2019 Indera Dr. Shaari Ngadiman.\nDato\u00e2\u20ac\u2122 Dr. Noor Azmi telah mengunjungi bas yang dicadangkan sebagai PPV Mobiliti dan diberi penerangan oleh Pengarah Yayasan Setia Negara Malaysia, Dato\u2019 Haniff Borhan.\nDalam usaha menyahut seruan kerajaan untuk mencapai 80% vaksinasi dalam kalangan rakyat Malaysia, PPV Mobiliti ini mampu membantu pihak kerajaan mencapai imuniti berkelompok serta membantu para pengusaha bas meningkatkan sektor ekonomi.\nBas yang dijadikan PPV Mobiliti ini mempunyai tujuh buah stesen pemberian vaksin. Anggaran pemberian vaksin dalam sehari adalah sebanyak 647 dos, bersifat mesra OKU dan mempunyai peti simpanan vaksin.\nDalam lawatan tersebut, Dato\u2019 Dr. Noor Azmi diiringi oleh Pegawai Daerah Hulu Langat, Encik Najmuddin Jemain, Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming dan Pegawai Kesihatan Daerah Hulu Langat, Dr. Zailiza Suli." "Sindrom Peter Pan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKisah Peter Pan, protagonis dari Never-Never Land, sebuah tempat yang kanak-kanak tidak pernah dewasa. Sindrom Peter Pan yang kadang-kadang dikenali sebagai kegagalan untuk mendewasakan diri atau menjadi matang, bukanlah diagnosis klinikal.\nAhli psikologi, Dan Kiley mencipta istilah \u201cSindrom Peter Pan\u201d dalam bukunya, Peter Pan Syndrome: Lelaki yang Tidak Pernah Membesar (1983). Kiley bekerja dengan remaja lelaki yang bermasalah. Dia mendapati bahawa banyak remaja yang membesar menjadi lelaki dewasa yang berjuang untuk tidak menerima tanggungjawab orang dewasa.\nCiri Sindrom Peter Pan:\nKiley mendakwa keengganan untuk bersikap dewasa adalah kelemahan dan kekurangan daripada pihak lelaki. Dia juga percaya bahawa wanita yang mengongkong pasangan lelaki mereka (juga dikenali sebagai \u201cDilema Wendy\u201d) memungkinkan lelaki terus menghindari tanggungjawab orang dewasa.\nSindrom Peter Pan bukanlah diagnosis yang diakui secara klinikal. Sindrom ini baharu dikenal pasti. Oleh hal yang demikian, tidak banyak kajian yang dijalankan untuk meneroka fenomena tersebut. Ahli psikologi Humbelina Robles Ortega berpendapat bahawa mereka yang mempunyai Sindrom Peter Pan mungkin takut akan kesunyian. Oleh itu, mereka terus mencari orang lain untuk menjaga mereka, biasanya pasangan romantis.\nBeberapa penyelidikan menunjukkan bahawa lelaki dengan Sindrom Peter Pan mungkin mengalami gangguan keperibadian. Sindrom Peter Pan sering menjadi sebahagian daripada sistem keluarga yang kompleks yang suami mempunyai keperibadian narsisis dan isteri mengalami kemurungan. Terapi keluarga atau kaunseling pasangan dapat membantu seisi keluarga." "DBP Tumpu Terbitkan Buku Bidang Perubatan Tahun Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan memberi tumpuan untuk menerbitkan buku yang berkaitan dengan bidang perubatan pada tahun ini sesuai dengan situasi semasa yang dihadapi sekarang.\nUsaha tersebut yang diberi tanggungjawab kepada Bahagian Buku Umum akan bekerjasama dengan pelbagai pihak, antaranya Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR), sebuah agensi di bawah Kementerian Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Agensi Nuklear Malaysia, sebuah agensi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).\nPada masa yang sama, DBP akan meneruskan usaha untuk menerbitkan buku dalam bidang sains dan teknologi, sains sosial dan kemanusiaan, agama, falsafah dan tamadun Islam yang meliputi 49 subbidang.\nBerkongsi lebih lanjut mengenai usaha tersebut, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran menjelaskan pada tahun lepas, pihaknya menetapkan sasaran penerbitan sebanyak 355 judul.\nWalau bagaimanapun, kata beliau pada tahun tersebut DBP hanya berjaya menerbitkan sebanyak 172 judul kerana kekangan kerja pracetak dan cetak yang tergendala akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara.\nTanpa kekangan tersebut, DBP berupaya mencapai sasaran penerbitan yang ditetapkan kerana sewaktu kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan pada 2020, sebanyak 207 judul am baharu masih berada pada peringkat pracetak dan 24 judul pada peringkat cetak.\nKatanya lagi, pada setiap tahun, DBP mempertingkatkan jumlah penerbitan antara lima hingga 10% dengan bilangan staf editorial yang ada.\nPihaknya juga berkata akan terus berusaha meningkatkan bilangan penerbitan sesuai dengan peranan DBP dalam membina dan memperkaya bahasa kebangsaan menerusi aktiviti penerbitan.\nKetika ditanya mengenai cara DBP membantu memartabatkan bahasa kebangsaan, Abang Sallehuddin berkata, pihaknya melaksanakan pelbagai kempen bahasa semenjak penubuhan agensi tersebut.\nWalaupun mempunyai perubahan nama kempen seperti Minggu Bahasa, Bulan Bahasa dan Sastera Negara, Bulan Bahasa Kebangsaan dan kini Dekad Bahasa Kebangsaan, kesemuanya tetap bertujuan untuk mempersegar kecintaan terhadap bahasa kebangsaan.\nPelbagai kegiatan dilaksanakan oleh DBP termasuklah program penggalakan, pembinaan dan penyebaran melalui pelbagai media. Masyarakat sentiasa menyambut baik dan memberikan sokongan terhadap pelaksanaan kegiatan DBP.\nDBP sentiasa berusaha mendekati masyarakat dengan pelbagai pendekatan termasuklah dengan menggunakan media sosial dalam penyebaran.\nDBP berharap sokongan dan kerjasama daripada masyarakat dalam membantu DBP mengembangkan bahasa dapat ditingkatkan lagi dan mengharapkan sokongan daripada pelbagai pihak sama ada dalam kalangan pemimpin, penjawat awam dan swasta mahupun generasi muda dalam memartabatkan bahasa kebangsaan.\nSumber: Utusan Online" "Sinopharm dan Johnson & Johnson Lulus!\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) yang bersidang pada hari ini meluluskan penggunaan vaksin COVID-19, Sinopharm dan Johnson & Johnson secara bersyarat.\nMenurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Tan Sri Dato\u2019 Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut yang dipantau dan dinilai berdasarkan data terkini dari semasa ke semasa. Hal ini adalah untuk memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) produk vaksin ini kekal positif.\nBeliau menegaskan, \u201cKKM akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi pandemik COVID-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.\u201d\nKerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa di Malaysia mencapai imuniti kelompok (herd immunity) selaras dengan sasaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK)." "Cergas demi Selamatkan Harimau Malaya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 PERHILITAN mengundang orang ramai menyertai larian secara maya RUN FOR HARIMAU MALAYA bersempena dengan Sambutan Hari Harimau Sedunia pada 29 Julai 2021 sambil menyumbang kepada Tabung Selamatkan Harimau Malaya.\nLarian secara maya yang dianjurkan oleh PERHILITAN, Yayasan Hijau Malaysia dan Runlista ini bermula dari 24 Julai 2021 hingga 10 Ogos 2021, melibatkan aktiviti berjoging/berlari/berskip/berjalan sejauh 7 kilometer.\nPendaftaran dibuka dari 14 Julai 2021 hingga 26 Julai 2021. Sebahagian daripada yuran pendaftaran akan disalurkan kepada Tabung Kempen Selamatkan Harimau Malaya. Untuk maklumat lanjut pendaftaran, orang ramai boleh melayari https://bit.ly/Runforharimaumalaya" "Wakil Rakyat Digesa Mengambil Ujian Komunikasi Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2212 Prof. Madya Dr. Norazlina Haji Mohd. Kiram dari Universiti Putra Malaysia, sangat mengalu-alukan orang ramai menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan betul terutama ketika membuat apa-apa sahaja hantaran di media sosial. Beliau agak kesal dengan sikap sesetengah pihak yang bersikap dingin terhadap tindakan Perdana Menteri YAB Dato\u2019\u00a0Sri Ismail Sabri\u00a0Yaakob yang berucap dalam bahasa Melayu di pentas antarabangsa baru-baru ini.\n\u201cSeseorang pemimpin berucap dalam bahasa Melayu di pentas antarabangsa sepatutnya disambut dengan respons positif tetapi malangnya terdapat komen negatif yang berbaur kecaman yang mengatakan bahawa pemimpin kita berkemungkinan besar tidak fasih berbahasa Inggeris,\u201d jelasnya.\nMenurutnya, warga netizen di negara ini sepatutnya berfikiran realistik dan turut berasa bangga kerana usaha yang dilakukan oleh Kerajaan untuk mengangkat bahasa Melayu di pentas antarabangsa perlu disambut dengan baik.\n\u201cTampaknya rakyat masih menyanjung tinggi bahasa asing dan memandang rendah terhadap keupayaan bahasa Melayu di negara ini. Sepatutnya daripada sekecil-kecil anak hingga peringkat dewasa perlu disemai semangat pejuang bahasa kebangsaan dengan cara tersendiri,\u201d katanya dalam sesi Sembang Suara Merdeka, yang membicarakan topik, iaitu \u201cPatutkah Bahasa Melayu Diperlekehkan?\u201c\nKatanya lagi, keseriusan Perdana Menteri mengangkat bahasa Melayu dengan saranan meminda Akta Dewan Bahasa serta semua pihak digesa mengutamakan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi seharusnya diterima secara terbuka oleh semua pihak.\nhttps://dewanbahasa.jendeladbp.my/2022/03/22/pindaan-akta-dewan-bahasa-dan-pustaka-1959-persis-pinang-pulang-ke-tampuk/\n\u201cTidak timbul sifat berjiwa kecil sekiranya rakyat negara ini menggunakan bahasa Melayu dalam pertuturan dan penulisan. Selama berbelas tahun belajar bahasa Melayu sejak di sekolah rendah, tetapi masih ada lagi orang yang tidak fasih berbahasa Melayu,\u201d katanya.\nBaginya, bahasa Melayu akan terus berkembang dan terpelihara sekiranya diwujudkan dasar atau arahan tegas agar semua pihak mengambil peranan masing-masing. Misalnya, semua media perlu mengambil tanggungjawab menggunakan bahasa yang baik dan betul seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Selain itu, pemimipin negara merupakan ejen perubahan kepada masyarakat untuk merealisasikan perkara yang termaktub dalam perlembagaan ini.\n\u201cKeadaan yang berlaku di Parlimen sebaliknya yang menunjukkan sesetengah ahli Parlimen menggunakan bahasa Melayu secara rojak dan tidak sopan serta boleh menimbulkan padangan negatif daripada masyarakat,\u201d katanya.\nSehubungan dengan itu, beliau mendesak wakil rakyat atau pemimpin politik mengikuti ujian komunikasi berkesan bahasa Melayu setiap tiga tahun sekali supaya tidak mengulangi kesalahan dalam penggunaan bahasa Melayu.\nUjian komunikasi berkesan ini termasuklah mengikuti kemahiran mendengar, iaitu pemimpin perlu mendengar dengan baik terutama suara daripada rakyat dan kemahiran bertutur, iaitu menguasai bahasa Melayu yang kaya dengan gaya bahasa termasuklah penggunaan peribahasa dan pantun. Dalam hal ini, penulis teks ucapan pemimpin perlulah menyelitkan unsur bunga bahasa yang penuh dengan keindahan bahasa ini. Secara tidak langsung, mereka akan mengangkat bahasa Melayu.\nSelain itu, mereka juga perlu rajin membaca kerana dengan membaca, pemimpin atau sesiapa sahaja dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Begitu juga dengan kemahiran menulis yang juga perlu dikuasai oleh mereka supaya tidak melanggar rumus bahasa ketika bersidang di Parlimen.\nOleh itu, bagi pembuat dasar negara, pemimpin atau wakil rakyat, mereka seharusnya melakukan perubahan dengan menambah baik penggunaan bahasa Melayu, mewujudkan peraturan atau hukuman terhadap wakil rakyat yang melanggar penggunaan bahasa yang baik dan betul di Parlimen.\n\u201cApabila dari peringkat atasan menggunakan bahasa yang baik dan betul serta mengutamakan bahasa ini dalam setiap urusan rasmi, barulah masyarakat akan meyakini bahasa ini,\u201d katanya.\nBeliau turut menggesa pihak sektor awam dan sektor swasta seharusnya menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya dalam sesi temu duga supaya bahasa ini tidak terus diperlekehkan.\nOleh itu, bahasa Melayu perlu dikuasai oleh setiap warga negara ini sebagai lambang kesetiaan dan jati diri bangsa yang menunjukkan kecintaan terhadap bahasa dan negara ini.\nhttps://www.facebook.com/watch/live/?ref=search&v=264916922510064" "Kecil-kecil Jintan Manis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRempah-ratus ialah bahan sayuran kering atau aromatik yang digunakan sebagai perisa makanan dan perubatan. Dalam bidang perubatan, rempah-ratus digunakan untuk merawat disentri, masalah gastro-usus, demam, sakit selepas bersalin, cacing pita, radang tekak, dan tonsilitis. Kayu manis, lada hitam, bunga cengkih, jintan putih, dan ketumbar sering digunakan dalam perubatan tradisional. Jintan manis juga tidak kurang hebatnya.\nJintan manis dikenali sebagai Saunf atau Foeniculum vulgare dalam keluarga Apiacae. Jintan manis berasal dari Eropah selatan dan wilayah Mediterranean. Negara India ialah pengeluar jintan manis terbesar di dunia. Jintan manis di India ditanam, terutamanya di Gujarat, Rajasthan dan Uttar Pradesh. Selain India, Rusia, Jerman, Perancis, Itali, Jepun, Argentina, dan Amerika Syarikat juga mengeluarkan jintan manis.\nTerdapat tiga spesies jintan manis, iaitu Foeniculum vulgare, Foeniculum azoricum Mill dan Foeniculum dulce. Jintan manis ialah tanaman jangka panjang dan boleh berkembang di mana-mana sahaja. Jintan manis boleh tumbuh di kawasan beriklim sederhana atau subtropika, terutamanya di kawasan tanah kering dan pinggir kawasan pantai berpasir.\nPokok jintas manis tumbuh menegak. Batangnya berwarna hijau, berongga dan mampu hidup lebih dari dua tahun. Pokok jintan manis boleh mencapai ketinggian hingga 2 meter. Pokok jintan manis boleh mencapai ketinggian antara 30 sentimeter (sm) hingga 50 sm dengan panjang antara 20 sm hingga 30 sm.\nDaun tumbuhan ini berwarna hijau dengan saiz antara 5 sm hingga 10 sm panjang dan ringan seperti bulu ayam. Di sisi daunnya terdapat paksi seperti benang. Bunga jintan manis pula berwarna putih kekuningan. Saiz buah jintan manis serupa dengan buah jintan putih, iaitu antara 4.0 milimeter (mm) hingga 5.0 mm panjang.\nFakta Nutrisi Jintan Manis\nJintan manis kaya dengan karbohidrat, protein dan lemak. Kandungan mineralnya terdiri daripada kalsium, fosforus, zat besi, natrium, dan kalium. Kandungan vitamin dalam jintan manis terdiri daripada tiamin, riboflavin, niasin, vitamin C, dan vitamun K. Jintan manis tinggi dengan isoleusin dan histidin. Rasa jintan manis sama seperti rasa bunga lawang (star anise), iaitu manis dan sedikit pahit. Walau bagaimanapun, rasa jintan manis dari India dan Mesir lebih manis, aromatik dan mempunyai sedikit rasa bunga lawang.\nJintan manis bukan sahaja digunakan dalam masakan, tetapi juga menjadi satu komponen yang penting dalam formulasi Ayurveda. Daun dan akar jintan manis berfungsi untuk merawat bisa gigitan ular, dan untuk meneutralkan racun dalam sayuran seperti cendawan. Jintan manis juga penting untuk pengaktifan enzim, metabolisme, perlindungan sel, perkembangan tulang, pengawalan gula darah, dan penyembuhan luka. Penyelidikan membuktikan bahawa jintan manis ialah tumbuhan perubatan yang memiliki pelbagai potensi dalam rawatan manusia.\nRingkasnya, jintan manis merupakan rempah-ratus serbaguna kerana mempunyai kegunaan kuliner dan perubatan. Walaupun saiznya kecil, jintan manis berfungsi sebagai senjata ajaib untuk kesihatan manusia. Jintan manis digunakan dalam pelbagai formulasi Ayurveda kerana kebaikannya.\nHasil penyelidikan mendapati jintan manis yang dikisar berupaya melawan bakteria yang menyebabkan ketakcernaan, cirit-birit, dan disentri. Jintan manis juga didapati berkesan dalam melawan radikal bebas yang menyebabkan pelbagai penyakit. Ekstrak jintan manis juga boleh digunakan untuk membantu individu menangkis kesan pelbagai penyakit kronik dan keadaan kesihatan berbahaya, termasuklah kanser, pengerasan arteri atau aterosklerosis dan keradangan." "Saga Artakusiad Menggetarkan Jiwa Pembaca\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Program Pena Editor \u2013 Bicara Karyawan, \u201cSaga Artakusiad Satu Bicara Fantasi\u201d yang disiarkan secara langsung dari Studio Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada hari ini, mendapat sambutan dan respons positif daripada khalayak.\nProgram tersebut dijayakan oleh Ahmad Patria Abdullah, novelis terkenal genre fiksyen sains dan fantasi yang terkenal di negara ini. Beliau berkongsi dengan khalayak tentang perjalanan hidup, pengalaman dan perancangan beliau dalam bidang penulisan karya fantasi, siri Saga Artakusiad yang merangkumi Seru Katanaga, Cabaran Lodra, Legenda Numerius, dan sebagainya.\nProgram yang berlangsung hampir satu jam itu membongkar rahsia faktor utama karya Saga Artakusiad ini muncul. Menurut Ahmad Patria, manuskrip Saga Artakusiad sebenarnya telah dibuang ke dalam tong sampah kerana beliau merasakan bahawa karya itu tidak begitu baik untuk disiarkan. Walau bagaimanapun, karya tersebut telah diambil oleh bapanya dan mengusulkan agar dihantar kepada penerbit. Akhirnya, DBP menerbitkan karya ini sejak tahun 1987 hingga berkembang kepada beberapa siri yang hebat.\nMenurut Ahmad Patria lagi, sebagai penulis yang sangat meminati fantasi, beliau memerlukan kebebasan untuk mendapatkan resonance atau gema yang boleh menggetarkan jiwa pembaca seperti mampu membuatkan pembaca menangis apabila membaca karya tersebut. Beliau juga akan memastikan setiap karya yang dihasilkan tidak melanggar batas agama.\nKarya fantasi yang ditulis oleh penulis-penulis moden ialah sebuah karya yang kompleks yang merangkumi banyak sudut ekonomi, ketenteraan, pentadbiran negara, peribadi, dan percintaan. Hal ini bermakna fantasi mempunyai stigma tersendiri.\nTambah Ahmad Patria lagi, penulisan beliau berdasarkan hasil pembacaan yang banyak dan penontonan filem. Beliau menerapkan hasil pembacaan dan mengolah teknik yang digunakan dalam filem, antaranya termasuklah filem Jepun, Korea, Perancis, British, dan sebagainya dalam penulisan beliau. Oleh itu, beliau sangat mementingkan tempo sesuatu penceritaan. Pada masa ini, pembaca suka akan sesuatu karya yang mempunyai tempo penceritaan yang cepat di samping untuk mengelakkan pembaca berasa bosan.\nSiri Saga Artakusiad memberikan pengakhiran yang penuh dengan teka-teki kepada pembaca. Ahmad Patria menyatakan bahawa Saga Artakusiad kini diberi nafas baharu. Walaupun menggunakan watak yang sama, tetapi naratifnya berbeza. Mutu penulisan Saga Artakusiad yang baharu ini juga dikatakan lebih baik berbanding dengan Saga Artakusiad yang lama.\nSaya tidak ada perancangan untuk menfilemkan karya Saga Artakusiad ini kerana menghasilkan filem bukan kepakaran saya. Saya lebih menumpukan penulisan. Bagi saya penulisan ialah satu proses pengkaryaan yang peribadi, manakala perfileman bersifat kolaboratif, melibatkan pelbagai pihak serta banyak elemen dalamnya. Secara tidak langsung akan melibatkan perbelanjaan yang sangat besar.\nMengakhiri bicara, Ahmad Patria menasihatkan orang ramai agar sentiasa bersabar dan mengamalkan interaksi yang baik melalui media sosial dalam situasi pandemik COVID-19 ini. Beliau juga menyeru rakyat Malaysia agar mematuhi Prosedur Operasi Standard untuk mempercepat pengakhiran pandemik COVID-19." "Pupuk Minat STEM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 STEM dan isu global perlu didedahkan kepada kanak-kanak sejak awal. Hal ini ditegaskan oleh Profesor Dato\u2019 Dr. Noraini Idris, Pengerusi Persatuan STEM Kebangsaan dalam Program Bicara \u201cSTEM: Peranan dan Kepentingan STEM\u201d menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP petang tadi.\nMenjelaskan lanjut mengenai STEM yang merupakan gabungan ilmu sains (sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik), beliau menyatakan bahawa STEM perlu didedahkan dari peringkat kanak-kanak hingga warga emas melalui pendidikan formal dan tidak formal. Kanak-kanak perlu didedahkan dengan isu global seperti penyakit manusia, perubahan cuaca, ekonomi, dan sebagainya sejak awal agar mereka peka dan berminat dengan STEM yang menjadi teras kehidupan manusia.\nMenurut Noraini, kerajaan, guru, ibu bapa, dan semua pihak perlu bekerjasama mengangkat STEM melalui sokongan, galakan, pendedahan, dan penekanan terhadap pembelajaran konsep sains kepada kanak-kanak bermula di dalam kelas dan diterapkan di luar kelas dalam kehidupan sehari-hari. Beliau menambah Malaysia berdepan dengan isu dan cabaran STEM yang memperlihatkan penurunan minat terhadap subjek STEM dan pencapaian akademik bagi subjek ini pada peringkat sekolah, yang turut mempengaruhi pemilihan kursus pada peringkat universiti.\nPada era Revolusi Industri 4.0 ini, beliau menyeru masyarakat Malaysia agar menguasai kemahiran menyelesaikan masalah yang kompleks, menguasai isu yang menuntut kemahiran berfikir secara kreatif dan berfikiran strategik yang boleh dipupuk sejak kanak-kanak. Bagi membantu memupuk minat STEM dalam kalangan masyarakat Malaysia, beliau menyatakan bahawa Persatuan STEM Kebangsaan akan bekerjasama dengan DBP untuk menerbitkan banyak bahan bacaan berkaitan dengan STEM dalam bahasa Melayu." "Karnival Sains Sabah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKarnival Sains Sabah (KSS) ialah program yang julung-julung kalinya diadakan pada tahun ini bertujuan membangkitkan minat pelajar dan masyarakat di Negeri di Bawah Bayu terhadap sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM). KSS 2021 berlangsung secara maya di saluran Youtube Sabah Gov Official dan Facebook Karnival Sains selama tiga bulan bermula dari 5 Julai 2021.\nKarnival secara maya ini disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang melanda negara kita. Program ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan beberapa penganjur yang lain.\nDalam dunia maju yang serba canggih pada hari ini, masyarakat perlu memiliki dan menguasai kemahiran yang tinggi dalam bidang sains dan teknologi. Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh Akademi Sains Malaysia, hanya 20% pelajar yang mengambil jurusan sains pada masa ini, sedangkan untuk mencapai status negara maju, Kementerian Pendidikan menetapkan sasaran dengan nisbah 60:40 pelajar sains berbanding dengan sastera atau sains sosial pada peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT). Oleh itu, kerajaan Sabah berhasrat meningkatkan sasaran kekuatan tenaga kerja dengan asas sains dan teknologi menerusi pelbagai aktiviti program, termasuklah melalui penganjuran KSS ini.\nPada 5 Julai 2021 jam 10 pagi, majlis perasmian KSS telah dilancarkan secara maya oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YB Datuk Yakub Khan. Menurut beliau, KSTI bertanggungjawab membudayakan sains kepada masyarakat, mengubah persepsi masyarakat terhadap sains dan menjadikan sains sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian. Beliau mengatakan bahawa dalam tempoh 20 tahun akan datang, kebanyakan bidang kerja yang ditawarkan adalah berdasarkan sains, teknologi dan inovasi. Oleh itu, kerajaan tidak mempunyai pilihan melainkan mengutamakan pendidikan STEM sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran pada masa depan.\nProgram KSS yang diadakan ini mengambil contoh program tahunan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), iaitu Minggu Sains Negara manakala pengisian program memfokuskan ilmu STEM, inovasi dan teknologi. Objektif KSS, antaranya termasuklah (1) memupuk pembudayaan ilmu sains, teknologi dan inovasi kepada semua lapisan masyarakat; (2) menyebarluaskan dan menggalakkan penyertaan yang lebih banyak dalam dunia pendidikan berasaskan STEM; (3) memberikan pengalaman dan pemahaman kepada masyarakat tentang ilmu STEM dalam kehidupan sebenar dan (4) menggalakkan penglibatan ibu bapa dan komuniti dalam bidang STEM bagi meningkatkan kefahaman dan kerjasama dalam menyokong pendidikan generasi Revolusi Industri 4.0.\nMelalui program ini, sebanyak 12 pertandingan akan diadakan secara dalam talian melibatkan peringkat prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, dan pendidikan khas. Antara pertandingan tersebut termasuklah Pertandingan Seni Visual bagi Pelajar Prasekolah; Pertandingan Inovasi STEM bagi Pelajar Sekolah Rendah; Pertandingan Solar Oven bagi Pelajar Sekolah Menengah, dan Pertandingan Fotografi Alam Semula Jadi bagi Pelajar Pendidikan Sekolah Khas. Pertandingan secara dalam talian ini berakhir pada 24 Julai 2021.\nEmpat pertandingan akan diadakan untuk para pelajar di pedalaman yang tiada capaian Internet, iaitu STEM dan Kitar Semula (kertas) bagi Pelajar Sekolah Rendah Tahap 1; STEM dan Kitar Semula (plastik) bagi Pelajar Sekolah Rendah Tahap 2; Inovasi STEM dan Alam Sekitar (Tambah Baik) bagi Pelajar Sekolah Menengah Rendah, dan Inovasi STEM dan Alam Sekitar (Ciptaan Baharu) bagi Pelajar Sekolah Menengah Atas. Tarikh tutup penyertaan pertandingan untuk para pelajar di pedalaman adalah pada 15 Ogos 2021.\nSelain pertandingan, 30 sesi webinar akan diadakan secara dalam talian sepanjang KSS berlangsung selama tiga bulan ini yang melibatkan pelbagai agensi dan jabatan di bawah MOSTI dan dua buah IPT Awam di Sabah, iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah bagi membincangkan isu dalam bidang sains, teknologi dan inovasi. Antara sesi webinar yang berlangsung sepanjang bulan Julai termasuklah Webinar Bengkel Teknik Menjawab Soalan KBAT SPM bagi Subjek Matematik Tambahan, Sains, Kimia dan Biologi; Webinar Kesedaran Ibu Bapa Mengenai Kepentingan STEM, dan Webinar Peranan Teknologi dalam Merevolusikan Industri di Sabah.\nPada bulan Ogos nanti, beberapa sesi webinar akan berlangsung, antaranya termasuklah seperti Pertunjukan Sains Secara Langsung di Petrosains Playmart Kota Kinabalu pada 2 Ogos 2021; Inovasi Sosial dan Impak kepada Masyarakat pada 13 Ogos 2021; Kepentingan STEM dan Potensi Kerjaya pada 18 Ogos 2021, dan Rakaman Lawatan Maya ke Pusat Sains Negara dan Dinasour World pada 25 Ogos 2021.\nDalam usaha memupuk minat terhadap STEM, masyarakat tanpa mengira lapisan umur boleh mengambil peluang mengikuti setiap sesi webinar yang dijalankan secara maya melalui laman Facebook rasmi program tersebut. Diharapkan penganjuran karnival seperti ini dapat diperluas untuk memupuk minat para pelajar dan masyarakat terhadap STEM. Hal ini demikian kerana kebanyakan peluang pekerjaan pada masa depan memerlukan setiap pelajar mempunyai kemahiran berteraskan matematik dan sains. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu memainkan peranan membantu generasi muda agar membuang tanggapan bahawa sains itu sukar. Minat terhadap STEM seharusnya dipupuk sejak kecil." "Sambutan Hari Tanah Negara dan Pelancaran Peluasan Sistem e-Tanah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sambutan Hari Tanah Negara Tahun 2021 (HTN 2021) yang bertemakan \u201cMendepani Cabaran Pasca COVID-19 dalam Pentadbiran Tanah\u201d dirasmikan oleh Tan Sri Dato\u2019 Haji Mahiaddin Haji Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia pada hari ini secara maya. Beliau turut merasmikan Pelancaran Peluasan Sistem e-Tanah Secara Kerjasama Awam\u2013Swasta ke negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia setelah sistem tersebut digunakan dengan jayanya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Perak.\nMenurut Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Haji Nasarah, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, HTN disambut pada 27 Julai setiap tahun bagi menghargai sumbangan warga pentadbiran tanah di seluruh Malaysia dalam memastikan perundangan pentadbiran tanah sentiasa relevan dan selari dengan arus pembangunan negara. Tambah beliau, sambutan HTN melalui siri webinar dan program bual bicara yang diadakan secara maya memberikan peluang kepada warga pentadbiran tanah seluruh negara, pemain industri dan orang awam untuk mencetuskan pemikiran dan idea baharu ke arah memperkemas pentadbiran tanah di Malaysia.\nPelaksanaan Sistem e-Tanah Secara Kerjasama Awam-Swasta di Kuala Lumpur dan Perak berjaya meningkatkan kualiti dan kecekapan pentadbiran tanah. Transformasi pentadbiran tanah menerusi Sistem e-Tanah berjaya melonjakkan kedudukan Malaysia dalam Laporan Ease of Doing Business Year 2020 yang dikeluarkan oleh Bank Dunia dari kedudukan ke-15 pada tahun 2019 ke kedudukan ke-12 pada tahun 2020. Sistem e-Tanah ini juga mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa pada tahun 2018, iaitu pencapaian Gold Award Public Sector.\nMenurut beliau lagi, dengan kejayaan pelaksanaan Sistem e-Tanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Perak, Perjanjian Konsesi Sistem e-Tanah bagi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Putrajaya dan Labuan Secara Kerjasama Awam\u2013Swasta dimeterai secara maya. Dengan termeterainya perjanjian konsesi ini, pembangunan Sistem e-Tanah akan dimulakan di kedua-dua pejabat tanah tersebut.\nKerajaan akan terus melaksanakan peluasan Sistem e-Tanah Secara Kerjasama Awam-Swasta ke negeri Selangor, Terengganu, Pahang, Johor, Kedah, Perlis, dan Kelantan. Sistem e-Tanah di semua negeri tersebut dijangka akan selesai dibangunkan dan boleh diguna pakai selewat-lewatnya pada tahun 2024." "Ikan Pendatang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAwas, jangan lepaskan ikan mas haiwan kesayangan anda ke dalam kolam atau tasik!\nPada 9 Julai 2021, sekumpulan ikan mas gergasi ditemui di sebuah tasik di Amerika Syarikat. Menurut akaun Twitter rasmi City of Burnsville, ikan mas akan membesar setelah dibuang ke tasik, menyumbang kepada kualiti air yang buruk.\nIkan mas ini akan membuang endapan dasar dan mencabut tanaman di dalam tasik. Hal ini mengakibatkan gangguan besar terhadap ekosistem kerana ikan mas ini membiak dengan cepat dan menguasai spesies akuatik asli di dalam kolam atau tasik itu.\n(Berita ini diolah daripada https://worldofbuzz.com)" "DBP Menang Hadiah Sanjungan dalam Anugerah PERSAMA\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAnugerah Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) bagi tahun 2020 dan 2021 telah berlangsung secara dalam talian melalui pelantar Microsoft Teams, yang turut disiarkan secara langsung melalui Facebook Pusat Sains Matematik, Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 29 Julai 2021. Kali ini, UMP terpilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran majlis anugerah tersebut. Majlis Anugerah PERSAMA juga diadakan bersempena dengan Majlis Perasmian Penutup Simposium Kebangsaan Sains Matematik ke-28 yang bertemakan \u201cSains Matematik Wahana Pencetus Inovasi Sejagat\u201d.\nPada tahun 2020, Anugerah PERSAMA tidak dapat diadakan ekoran pandemik COVID-19 yang menghalang aktiviti bersemuka. Maka itu, Anugerah PERSAMA pada kali ini menggabungkan penyertaan dan pemenang tahun 2020 dan 2021. Sebanyak 97 penyertaan bagi tahun 2020 dan 92 penyertaan bagi tahun 2021. Pencalonan untuk Anugerah PERSAMA meliputi tujuh kategori seperti Buku Karya Asli, Buku Karya Terjemahan, Makalah Ilmiah, Tesis Doktor Falsafah, Tesis Sarjana, Rencana Popular dan Reka Cipta.\nSelaku penerbit yang tekal menerbitkan buku ilmiah dalam pelbagai bidang, termasuklah bidang sains dan matematik, Dewan Bahasa dan Pustaka berjaya meraih Hadiah Sanjungan bagi kategori Buku Karya Asli bagi tahun 2021, menerusi buku Mantik dan Sistem Nombor Nyata. Buku tersebut ditulis oleh pensyarah yang pernah berkhidmat di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Dr. [email\u00a0protected] Ali.\nBagi kategori Buku Karya Asli, Hadiah Pemenang Utama diraih oleh Yusof Ahmad dengan bukunya, Structural Analysis Using Matrix Method, terbitan UTM Press. Sebanyak empat pemenang berjaya meraih Hadiah Sanjungan. Selain dimenangi oleh buku Mantik dan Sistem Nombor Nyata, Hadiah Sanjungan juga diberikan kepada buku Statistik Pentadbiran dan Analisis Data terbitan Universiti Malaysia Terengganu, hasil\u00a0 tulisan Mohd Lazim Abdullah dan Aslina Nasir, dan buku Nanobendalir: Model Matematik dan Penyelesaian, terbitan Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, hasil Mohd Anuar Jamaludin dan Roslinda Mohd Nazar. Perincian lanjut pemenang Anugerah PERSAMA adalah seperti yang berikut:\nPemenang Utama\n\u201cRadius of Starlikeness for Classes of Analytic Functions\u201d, ditulis oleh Lee See Keong, Kanika Khatter, V. Ravichandran dalam Bulletin of the Malaysian Mathematical Sciences Society.\nHadiah Sanjungan\nPemenang Utama\n\u201cConvection Boundary Layer Flow Past a Moving Thin Needle in a Nanofluid with Stability Analysis\u201d, ditulis oleh Siti Nur Alwani Salleh dari Universiti Putra Malaysia (UPM)\nHadiah Sanjungan\n\u201cMultistep Block Method for Solving Second and Third Order Boundary Value Problems With Robin and Mixed Type Boundary Conditions\u201d, ditulis oleh Nadirah Mohd Nasir dari UPM.\nPemenang Utama\n\u201cSide Sensitive Group Runs Double Sampling Chart for Detecting Mean Shifts\u201d, ditulis oleh Tan Eng Keng dari Universiti Sains Malaysia.\nPemenang Utama\n\u201cPerang Melawan COVID-19 Menggunakan Matematik: Model Sir\u201d, ditulis oleh Nurul Farahain Mohammad dalam Majalah Sains.\nHadiah Sanjungan\nPemenang Utama\n\u201cPredictive Model for Pandemic Outbreaks: In Response to COVID-19\u201d oleh Norazaliza Mohd Jamil, Norhayati Rosli dan Noryanti Muhammad dari UMP.\nHadiah Sanjungan\n\u201cExplore, Discover, Develop: Design Thinking and Creativity\u201d oleh Haslinda Ibrahim, Masnita Misiran dan Norhayati Yusof dari Universiti Utara Malaysia.\nSelama 20 tahun penganjurannya, Anugerah PERSAMA buat pertama kalinya diadakan secara dalam talian ekoran pandemik COVID-19. Menurut Presiden PERSAMA, Profesor. Dr. Maslina Darus, tahun ini merupakan tahun ke-21 penubuhan PERSAMA. Walaupun negara dilanda pandemik COVID-19, kajian dan wacana ilmu tidak terhenti. Komuniti sains dan matematik tetap giat mengadakan persidangan secara dalam talian. Malah Simposium Kebangsaan Sains Matematik Ke-28 yang berlangsung selama dua hari (28 hingga 29 Julai) berjaya menghimpunkan cendekiawan dari dalam dan luar negara bagi membentangkan hasil kajian terkini, lebih-lebih lagi penemuan baharu dan inovasi yang diterapkan dalam dua bidang tersebut, selain dapat meluaskan jaringan kerjasama.\nDalam ucapan Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff pula, beliau mengakui simposium menjadi wahana penting dalam menyampaikan ilmu dan berkongsi penemuan baharu. Beliau turut menghargai penganjuran bersama simposium dan anugerah antara UMP dengan PERSAMA, yang merupakan usaha kolaboratif dan signifikan antara ahli akademik dan pakar dalam bidang sains dan matematik.\nYang turut hadir menyaksikan anugerah yang mengiktiraf hasil kerja komuniti intelektual bidang sains dan matematik secara dalam talian ialah Dekan Pusat Sains Matematik UMP, Profesor Dr. Mohd Zuki Salleh dan Pengerusi Simposium, Profesor Dr. Zulhibri Ismail, selain para peserta simposium dan pemenang Anugerah PERSAMA 2020 dan 2021." "Renjer Perwira Belantara Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melantik 600 Veteran Angkatan Tentera Malaysia (VAT) dan Orang Asli (OA) sebagai renjer hidupan liar di bawah Program Perlindungan Biodiversiti dan Rondaan (BP3) hingga Jun lepas.\nMenterinya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata pelantikan itu bertujuan meningkatkan bilangan renjer, di samping menzahirkan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan para renjer yang selama ini berkorban mempertahankan sumber kekayaan dan khazanah semula jadi negara.\nRenjer ialah frontliner (anggota barisan hadapan). Mereka sebagai benteng untuk membanteras pencerobohan bagi melindungi biodiversiti. Renjer di negara ini berkhidmat di pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, malah terdapat sukarelawan di bawah Pertubuhan Bukan Kerajaan yang turut memainkan fungsi berkenaan.\nHari Renjer Sedunia disambut pada 31 Julai setiap tahun untuk menghargai dan mengiktiraf peranan serta tanggungjawab yang dimainkan oleh renjer selaku pejuang belantara dalam memastikan sumber semula jadi dan biodiversiti negara dilindungi.\n\u201cTugasan untuk melindungi hidupan liar, habitat semula jadi, menangani konflik manusia dan hidupan liar, menguruskan kawasan perlindungan serta penguatkuasaan tetap dijalankan dengan penuh dedikasi,\u201d ujar Shamsul.\n(Sumber: Bernama)" "Sukan Olimpik dan Acara Politik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nOleh: Azizi Ahmad\nSukan Olimpik ialah masa ketika banyak negara berkumpul untuk meraikan atletisme dan kekuatan mental. Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (International Olympic Committee) menganjurkan acara ini dengan tujuan mempromosikan pertandingan sukan dan pendidikan bebas daripada sebarang diskriminasi, \u201cDalam semangat persahabatan, solidariti dan permainan yang adil.\u201c\nOlimpik ialah masa perseteruan politik diketepikan.IOC bahkan mempromosikan konsep gencatan senjata Olimpik dalam piagamnya, sebuah usaha bijaksana yang dipatuhi semasa Olimpik kuno. Walaupun matlamat IOC adalah untuk perdamaian antarabangsa semasa sukan, tetapi politik telah mengganggu Sukan Olimpik sepanjang sejarahnya, sama ada melalui boikot, propaganda ataupun protes. Sungguh pun keamanan sejagat dituntut sepanjang masa, Sukan Olimpik\u00a0 tidak terlepas daripada kegelisahan dan gangguan berasaskan politik yang menyusup ke temasya Sukan Olimpik.\n\u00a0Berlin 1936: Olimpik Nazi\nBerlin terpilih menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 1936 pada tahun 1931. Namun, ketika tahun 1933 muncul, Parti Nazi berkuasa di Jerman. Cadangan memboikot Olimpik Berlin muncul di banyak negara Barat, yang terkejut dengan dasar perkauman Jerman dan pelanggaran hak asasi manusia. Namun, 49 buah negara menghadiri temasya di Berlin yang merupakan negara yang paling banyak menghadiri Sukan Olimpik.\nPemerintah Jerman menggunakan sorotan antarabangsa sebagai kesempatan untuk menggambarkan negara itu sebagai bangsa yang jinak dan progresif sambil menyerapkan dan \u00a0menyediakan bahan bakar untuk propaganda keungggulan Arya, perkara terakhir dilarang oleh IOC.\nIOC juga meminta agar kerajaan Jerman menerima atlet Yahudi yang berkelayakan dalam pasukan mereka. Hasilnya, Helene Mayer dibenarkan untuk mewakili Jerman dalam acara lawan pedang wanita. Pelari pecut Amerika dan pelompat jauh, Jesse Owens, seorang Afrika Amerika, memenangi empat pingat emas dalam temasya itu. Banyak orang yang menganggap bahawa Owens menghancurkan percubaan Jerman untuk membuktikan keunggulan bangsa Aryan.\n\u00a0London 1948: Jerman dan Jepun Diharamkan\nNegara Jerman dan Jepun tidak diundang untuk mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik pertama selepas Perang Dunia Kedua yang berlangsung pada tahun 1948 di London. (Kesatuan Soviet dijemput, tetapi enggan menghantar pasukan.) London, seperti kebanyakan bandar Eropah, masih dalam proses pemulihan perang dunia.\nLondon mempunyai waktu yang terhad untuk mempersiapkan temasya tersebut, dan akhirnya terus menggunakan kemudahan sukan dan kemudahan\u00a0 perumahan sedia ada yang dibina untuk pertandingan itu. Stadium Wembley menjadi pusat acara temasya, menjadi tuan rumah upacara pembukaan, acara atletik, dan banyak lagi. Dikhabarkan bahawa tawanan perang Jerman yang ditahan di United Kingdom digunakan untuk\u00a0 membina Laluan Wembley (Wembley Way) , laluan bawah tanah atau London Underground ke stadium.\nMelbourne 1956: Dua Kejadian Protes (Tunjuk Perasaan)\nDua kejadian tunjuk perasaan (protes) telah menyebabkan kurang daripada 67 buah negara mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik Melbourne 1956. Krisis Suez di Timur Tengah menjadi buntu ketika briged Israel menyerang Semenanjung Sinai pada bulan Oktober 1956. Mesir, Lebanon, dan Iraq memboikot temasya sukan tersebut untuk memprotes pencerobohan Israel dan sokongan sekutunya.\nSementara itu, tentera Soviet menyerang Budapest, Hungary, beberapa minggu sebelum upacara pembukaan. Bagi membantah pencerobohan tersebut, Belanda, Sepanyol, dan Switzerland menarik diri daripada sukan 1956 itu. Walau bagaimanapun, Hungary kekal dalam temasya itu, dan perlawanan polo air sengit berlangsung dengan Kesatuan Republik Sosialis Soviet (KRSS/USSR).\n\u00a0\nMexico City 1968: Kejadian Tembakan Kejam dan Protes Hak Sivil\nSukan Olimpik Musim Panas 1968 di Mexico City menyaksikan dua acara politik utama. Sepuluh hari sebelum upacara pembukaan temasya sukan, pelajar Mexico mengadakan tunjuk perasaan di Plaza of Three Cultures (Plaza de las Tres Culturas) di kawasan Tlatelolco, bandaraya Mexico.\nMereka menentang penggunaan dana kerajaan untuk Sukan Olimpik dan bukan untuk program sosial. Tentera Mexico mengepung plaza tersebut dan melepaskan tembakan yang turut membunuh lebih daripada 200 orang penunjuk perasaan dan mencederakan lebih daripada 1000 orang. Kekejaman yang kemudiannya dikenali sebagai \u201cpembunuhan beramai-ramai di Tlatelolco\u201d.\nSelain itu, politik Amerika menyusuri pertandingan atletik. Pelari pecut Amerika Syarikat, Tommie Smith dan John Carlos memprotes perlakuan negara mereka terhadap warga kulit hitam semasa upacara penganugerahan pingat 200 meter lelaki.\nMereka mengambil podium tempat pertama dan ketiga berkaki ayam dan, semasa lagu kebangsaan Amerika Syarikat, The Star\u2013Spangled Banner dimainkan, mereka mengangkat sarung tangan hitam tunggal sambil menundukkan kepala.\nPelari pecut Amerika dan pemenang tempat kedua Peter Norman dari Australia memakai lencana hak asasi manusia. Smith dan Carlos kemudiannya digantung penyertaan oleh IOC dan Jawatankuasa Olimpik Amerika Syarikat.\n\u00a0\nMunich 1972: Pembunuhan di Munich\nSukan 1972 dirosakkan oleh serangan pengganas Palestin terhadap pasukan Israel. Pada 5 September 1972, lapan orang pengganas yang bergabung dengan organisasi Black September menyelinap ke perkampungan olimpik (Village Olympic) dan membunuh dua anggota pasukan Israel. Mereka turut menculik sembilan orang atlet Israel yang lain, dan berusaha menawarkan pembebasan 200 orang tahanan Palestin.\nSetelah berlaku kebuntuan dengan pasukan polis Jerman yang tidak mencukupi, para pengganas dapat mengaturkan pengangkutan untuk mereka dan tebusan ke lapangan terbang berhampiran. Ketika pasukan polis Jerman gagal dalam usaha penyergapan mereka, para pengganas membunuh tebusan Israel. Polis kemudian berjaya membunuh lima orang daripada lapan orang pengganas Palestin. Sementara itu, seorang pegawai polis Jerman turut terbunuh.\n\u00a0Montreal 1976: Boikot Olimpik oleh Negara Afrika\nDua belas negara, kebanyakannya dari Afrika, memboikot Sukan Olimpik 1976 di Montreal setelah IOC menolak untuk melarang New Zealand daripada menyertai\u00a0 temasya tersebut. \u00a0Hal ini demikian kerana pasukan ragbi kebangsaan New Zealand mengadakan lawatan ke Afrika Selatan, sebuah negara yang dilarang menyertai Olimpik sejak tahun 1964 kerana dasar apartheid negara Afrika Selatan. Walaupun boikot tersebut tidak berjaya melarang New Zealand menyertai temasya tersebut, tetapi tindakan tersebut memberikan kesan kewangan dan atletik yang signifikan pada temasya tersebut.\nYang paling penting, larangan tersebut menarik perhatian seluruh dunia terhadap dasar apartheid di Afrika Selatan. Sebenarnya, ketika Springboks Afrika Selatan melakukan lawatan ragbi di New Zealand pada tahun 1981, mereka juga\u00a0 disambut dengan protes anti-Apartheid.\nRio de Janeiro 2016: Pasukan Olimpik (Pelarian)\nSepuluh atlet pelarian dipilih untuk bertanding dalam Pasukan Olimpik\nPelarian (Refugee Olympic Team) yang pertama untuk Olimpik Musim Panas Rio de Janeiro. IOC mencipta pasukan ini untuk membawa krisis pelarian ke barisan hadapan antarabangsa.\nAtlet yang berasal dari Syria, Sudan Selatan, Ethiopia, dan Republik Demokratik Kongo dipilih untuk mewakili skuad, dan setiap atlet berlatih di negara tuan rumah (Kenya, Belgium, Luxembourg, Brazil, atau Jerman). Para atlet judo, pelari jarak jauh, pelari pecut, dan perenang turut menyertai dan \u00a0memasuki acara pembukaan sebelum negara tuan rumah Brazil, membawa bendera Olimpik.\nAzizi Ahmad adalah pembaca dan juga mantan USSA Master Trainer." "Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSusu ibu ialah makanan terbaik untuk bayi. Susu ibu dapat melindungi bayi daripada sebarang risiko kegemukan, hiperkolesterolemia serta pelbagai penyakit tidak berjangkit seperti diabetes jenis 2 dan hipertensi apabila dewasa.\nMinggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia disambut pada 1 Ogos hingga 7 Ogos setiap tahun. Polisi Penyusuan Susu Ibu Malaysia diwujudkan untuk meningkatkan amalan penyusuan susu ibu dalam kalangan ibu di Malaysia. Semua ibu digalakkan menyusui anaknya dengan susu ibu sahaja dari lahir hingga berumur enam bulan, dan meneruskannya hingga mencapai umur dua tahun. Makanan pelengkap perlu diberi kepada bayi mulai umur enam bulan.\n10 Langkah Kejayaan Penyusuan Susu Ibu \n(Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia)" "Penjodoh Bilangan untuk Semut\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nApakah penjodoh bilangan yang sesuai untuk semut?\nDaripada:\nLau Lek Ling,\nSibu, Sarawak." "12 Ogos 2021: Fenomena Hujan Meteor Perseids\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRakyat Malaysia berpeluang untuk menyaksikan fenomena Hujan Meteor Perseids pada waktu malam dari 17 Julai 2021 hingga 24 Ogos 2021. Hujan Meteor Perseids akan mencapai tahap maksimum dengan kadar 110 meteor sejam atau hampir dua meteor seminit pada 12 Ogos 2021 (Khamis), dari pukul 9.00 malam hingga menjelang awal pagi 13 Ogos 2021.\nOrang ramai yang ingin memerhatikan fenomena hujan meteor perlu ke kawasan yang gelap dan jauh daripada pencemaran cahaya. Pusat pancaran meteor ini datang daripada buruj Perseus yang terletak di langit sebelah utara.\nOrang ramai juga boleh menonton siaran langsung lintasan meteor ini di Facebook dan Youtube Karnival Sains Sabah dan Dark Sky Malaysia pada 12 Ogos 2021, pukul 8.00 malam." "Debat Alam Sekitar dalam Kebiasaan Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSebagai jabatan yang bertanggungjawab menjadi penyebar maklumat, kemahiran dan idea bernas bagi pembangunan minda masyarakat ke arah penghayatan persekitaran alam semula jadi secara berterusan, maka Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi, Sekretariat\u00c2\u00a0Majlis Debat Universiti Awam (MADUM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan Pertandingan Debat Alam Sekitar antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) pada kali ke-27.\nBagi mematuhi Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia, maka pertandingan debat pada kali ini akan diadakan mengikut norma baharu, iaitu melalui kaedah dalam talian. Mengikut perancangan, pertandingan ini akan berlangsung selama lima hari, iaitu 14 Ogos 2021 hingga 17 Ogos 2021 bagi pusingan awal dan pusingan separuh akhir, dan 21 Ogos 2021 bagi pusingan akhir.\nObjektif pertandingan ini diadakan, antaranya termasuklah untuk menerapkan pembudayaan dan kecintaan alam sekitar ke arah kelestarian dan meningkatkan pengetahuan mengenai isu alam sekitar, di samping mencungkil bakat berpidato dalam kalangan mahasiswa.\nPada hari ini, 5 Ogos 2021 sesi taklimat dalam talian diadakan kepada para hakim yang terdiri daripada wakil dari JAS, MADUM dan DBP. Taklimat yang diadakan dari pukul 9.30 pagi hingga 5.00 petang ini dirasmikan oleh Yang Berusaha Dr. Norhazni Mat Sari, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), JAS. Menurut Dr. Norhazni, walaupun negara masih berhadapan dengan situasi pandemik yang teruk, namun pertandingan debat dalam kalangan IPT tetap mendapat sambutan yang baik. Selain itu, beliau turut mengingatkan agar selain menyentuh isu alam sekitar, perlu dititikberatkan juga hal yang berkaitan dengan patriotisme. Hal ini demikian kerana pertandingan ini akan berlangsung pada bulan Ogos bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-64.\nSesi taklimat hakim dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Puan Zuraini Ahmad Tajudin, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, JAS, diikuti sesi taklimat pertama bersama-sama ketua hakim, iaitu Tuan Nazru Haji Ismail (MADUM). Sesi taklimat kedua diteruskan oleh Puan Mizan Muhammad (MADUM) yang menyentuh aspek teknikal debat. Sesi penerangan berkaitan dengan aspek sistem pula disambung oleh Encik Badrulhisam Che Kasim (MADUM) sebelum diserahkan kepada Encik Ghani Abu, Ketua Bahagian Multimedia, DBP yang akan menerangkan dari aspek bahasa dan debat dalam sesi taklimat yang ketiga. Sesi taklimat keempat merupakan sesi khas bersama-sama JAS oleh Puan Mazriah Ayu Abu Bakar dan Encik Noor Sufianhadi Ramli." "Derma Organ demi Kehidupan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDerma organ bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia. Hal ini demikian kerana pendermaan organ sudah lama dalam bidang perubatan di negara ini. Bilangan pesakit yang memerlukan pemindahan organ semakin hari semakin bertambah, namun jumlah individu yang berikrar untuk menderma organnya setelah kematian masih rendah.\nSejak tahun 1999, kad Pengikrar Penderma Organ dilancarkan sebagai kad pendaftaran individu yang berikrar untuk menderma organ. Berdasarkan statistik pendermaan organ yang dikeluarkan oleh Pusat Sumber Transplan Nasional (PSTN), jumlah pengikrar penderma organ adalah sebanyak 489 416 orang setakat bulan Jun 2021.\nPSTN diwujudkan bukan sahaja untuk menambahkan bilangan pengikrar penderma organ, tetapi juga untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dan memberikan maklumat tentang kepentingan pendermaan organ.\nDefinisi pendermaan organ atau tisu\nPendermaan organ atau tisu ialah proses mendermakan sebahagian organ atau tisu daripada tubuh kita bagi tujuan pemindahan atau transplantasi kepada orang lain yang memerlukan kerana kegagalan atau kerosakan organ atau tisu tersebut. Selepas transplantasi organ, individu penerima organ itu dapat meneruskan kehidupannya.\nPusat Sumber Transplan Nasional\nMerupakan sebuah jabatan di Hospital Kuala Lumpur yang bertanggungjawab melaksanakan program pendermaan organ pada peringkat kebangsaan. Sebagai sebuah pusat rujukan kebangsaan, PSTN menjalankan aktiviti koordinasi proses pendermaan organ bagi tujuan transplantasi serta aktiviti promosi pendermaan organ selepas kematian.\nObjektif PSTN\nCara pendermaan organ\nBagi pendermaan selepas kematian, individu itu boleh mendermakan lebih banyak organ jika dibandingkan dengan pendermaan semasa hidup.\nOrgan dan tisu yang boleh didermakan di Malaysia\nSiapa yang layak menjadi penderma?\nSesiapa sahaja boleh mendaftar menjadi pengikrar penderma organ dan tisu kecuali mereka yang menghidap penyakit berjangkit seperti HIV, AIDS, Hepatitis B dan C, atau siflis.\nBagi mereka yang berumur kurang daripada 18 tahun, kebenaran bertulis daripada ibu bapa diperlukan. Semua pengikrar penderma organ dinasihatkan supaya memaklumkan kepada ahli keluarga tentang hasrat mereka untuk mendermakan organ selepas mereka meninggal dunia. Hal ini bagi memudahkan keluarga mereka memberikan kebenaran untuk pengambilan organ dan tisu selepas kematian mereka.\nCara untuk menjadi pengikrar penderma organ\nSeseorang yang ingin mendermakan organ selepas kematian boleh mengisi borang pendaftaran pengikar penderma organ yang boleh didapati di semua hospital kerajaan, jabatan kesihatan daerah, pusat kesihatan daerah atau memuat turun borang dari laman web PSTN." "Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSambutan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2021 akan diadakan secara maya dari 13 hingga 20 Ogos 2021. Majlis pelancaran program ini pula akan diadakan pada 14 Ogos 2021 dengan tema sambutan, Minggu Kesedaran Pendermaan Organ 2021 ialah \u201cDerma Organ: Milik Bersama\u201d.\nBersempena dengan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ 2021, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan. Antaranya termasuklah sesi pelancaran oleh perasmi program, pertandingan melukis poster, cabaran BookDoc, webicara Derma Organ Istimewa, dan pelbagai kuiz interaktif yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.\nOrang ramai yang berminat untuk menyertai aktiviti yang dianjurkan atau ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program ini boleh melayari laman web Pusat Sumber Transplan Nasional\u00a0atau media sosial rasminya, (Derma Organ)." "11 Kit Ujian Kendiri COVID-19 Lulus Bersyarat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebanyak 11 Kit Ujian Kendiri COVID-19 mendapat kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan. Kit ujian ini hanya boleh dijual di farmasi komuniti berlesen atau fasiliti kesihatan yang dibenarkan. Orang ramai dinasihatkan supaya membeli Kit Ujian Kendiri COVID-19 yang mendapat kelulusan bersyarat kerana kit ujian ini diluluskan berdasarkan penilaian oleh Jawatankuasa Pakar Penilaian Akses Khas COVID-19 dan lulus ujian prestasi yang dijalankan oleh beberapa buah makmal terpilih.\nOrang ramai juga dinasihatkan merujuk arahan penggunaan pada label kit tersebut bagi memastikan Kit Ujian Kendiri COVID-19 ini digunakan dan dilupuskan dengan cara yang betul dan selamat.\u00a0Penjualan kit ujian ini dikawal kerana faktor keselamatan dan untuk memudahkan pengesanan pengguna jika berlaku sebarang masalah. Keputusan sama ada positif, negatif atau tidak sah perlu dilaporkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia melalui aplikasi MySejahtera.\nUntuk maklumat lanjut, sila klik pautan di sini." "Istiqbal Musytari\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangit pada bulan Ogos 2021 memberikan peluang terbaik kepada kita untuk melihat planet Musytari. Planet ini boleh dilihat dengan menggunakan mata kasar di langit malam yang tidak berawan. Pada bulan ini, Musytari berada dalam kedudukan bertentangan dengan bumi atau dikenali sebagai \u201cistiqbal\u201d (opposition).\nFenomena istiqbal berlaku apabila kedudukan jasad samawi seperti planet dalam sistem suria berada dalam keadaan bertentangan dengan matahari atau berada di sudut longitud samawi bersamaan dengan 180\u00ba. \u00a0Apabila Musytari mengalami istiqbal, planet ini berada dalam kedudukan yang paling dekat dan bertentangan dengan bumi berbanding dengan kedudukannya yang lain dalam orbit. Bahagian planet yang menerima cahaya matahari menghadap tepat ke arah bumi. Dengan kedudukan sedemikian, kedua-dua buah planet tersebut kelihatan lebih cerah dan lebih besar dari hari lain. Hal ini memberikan peluang terbaik kepada kita untuk melihat planet tersebut.\nMusytari pula mengalami istiqbal pada hari Jumaat, 20 Ogos 2021. Pada tarikh tersebut, bumi berada di antara matahari dengan Musytari. Purata jarak Musytari dari matahari ialah 5.2 AU manakala jarak di antara Musytari dengan matahari semasa istiqbal lebih dekat, iaitu 4.01 AU Saiz Musytari semasa istiqbal pada kali ini ialah 48 saat arka.\nSemasa istiqbal, bahagian permukaan Musytari yang menerima cahaya matahari menghadap tepat ke arah bumi menyebabkannya kelihatan terang dengan magnitud -2.9. Oleh itu, Musytari kelihatan lebih cerah dan besar daripada hari yang lain pada tarikh istiqbal. Pada bulan Ogos ini, Musytari berada dalam buruj Capricon atau Jadi (dalam bahasa Arab).\nBuruj ini terletak di langit hemisfera selatan berdekatan dengan buruj Sagitarius. Buruj Capricon ialah buruj yang kesepuluh daripada 12 buruj zodiak. Zodiak ialah kawasan laluan matahari ketara dalam setahun. Laluan ini terbahagi kepada 12 buah kawasan. Setiap kawasan mengandungi satu buruj.\nPada 20 Ogos 2021, Musytari terbit di ufuk timur pada pukul 7.21 malam waktu tempatan dan transit pada pukul 1.23 pagi. Planet ini mula dapat dilihat apabila berada di altitud 10\u00ba dari ufuk pada pukul 8.05 minit malam. Waktu yang paling sesuai untuk melihatnya adalah apabila Musytari berada hampir di tengah langit, iaitu selepas pukul 11.00 malam. Walau bagaimanapun, Musytari boleh dilihat sepanjang malam jika cuaca baik. Musytari akan terbenam di ufuk barat pada pukul 7.22 pagi.\n(Sumber: Dr. Kassim Bahali, Felow Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia)." "PDiSA 2021: Mengarusperdanakan Konsep Kerajaan Digital\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Persidangan Digital Sektor Awam 2021 (PDiSA 2021) anjuran Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia dan AwanBiru Technology Berhad berlangsung secara dalam talian melalui Facebook MAMPU.\nPersidangan ini bertujuan menyediakan peluang kerjasama strategik antara agensi kerajaan dengan akademia dan sektor swasta, menyediakan platform perkongsian idea berkaitan dengan keadaan semasa dan arah aliran terkini teknologi serta mengarusperdanakan konsep \u201ckerajaan digital\u201d.\nPenganjuran PDiSA 2021 yang bertemakan \u201cNorma Baharu Pendigitalan: Memperkasakan Perkhidmatan Berpaksikan Rakyat\u201d ini sejajar dengan senario semasa dan perkembangan pesat yang perlu diterokai agar perkhidmatan yang disediakan mampu memenuhi kehendak dan keperluan rakyat.\nPDiSA 2021 dirasmikan oleh Tan Sri Dato\u2019 Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara. Dalam ucapan perasmian tersebut, beliau menyatakan prinsip FASTER, iaitu Flat, Agile, Streamlined, Tech-enabled, Efficient, dan Resilient harus dijadikan pegangan penjawat awam. Secara khususnya, prinsip FASTER membolehkan penjawat awam sentiasa eduktif dan sensitif kepada kehendak semasa. Para penjawat awam harus bertindak memastikan segala perancangan dan dasar yang dibuat terus dilaksanakan dengan efisien dan pantas.\nMenurut Mohd Zuki, \u201cKerajaan juga memberikan tumpuan kepada pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital sebagai langkah ke hadapan untuk melahirkan generasi fasih digital dan menjadikan sistem pendidikan di negara ini antara yang terbaik di dunia.\u201d\nTambah beliau, \u201cKerajaan meluluskan sebanyak 128 projek ICT dan pendigitalan yang melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM3.8 bilion dengan peruntukan sebanyak RM538.7 juta untuk tahun ini. Projek ini meliputi pembangunan sistem, infrastruktur dan perisian keselamatan siber, latihan kompetensi kerajaan digital, serta menaik taraf kelengkapan ICT di institusi latihan. Pelan infrastruktur digital yang menyeluruh yang dikenali sebagai Jalinan Digital Negara (JENDELA) juga diwujudkan bagi meningkatkan capaian Internet.\u201d\nPencapaian perkhidmatan dalam talian sepenuhnya atau E2E bagi sektor awam ketika ini sudah mencapai tahap 57.02% setakat 31 Julai yang lalu. Kerajaan menetapkan sasaran sebanyak 80% perkhidmatan kerajaan dalam talian dari peringkat awal hingga peringkat akhir menjelang tahun 2025 seperti yang ditetapkan dalam Rangka Kerja MyDigital.\n\u201cKerajaan juga bersetuju menetapkan penambahan sebanyak 5% daripada perkhidmatan E2E semasa sebagai Indeks Prestasi Utama (KPI) 2021 Tier-1 bagi penjawat utama perkhidmatan awam. Penetapan ini bertujuan memberikan nilai tambah dan memperkasakan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan dan meningkatkan kecekapan tadbir urus dalaman agensi,\u201d tambah beliau lagi.\nSementara itu, Datuk Seri Dr. Yusof Ismail, Ketua Pengarah MAMPU dalam ucapan beliau menyatakan, \u201cSebagai sebuah agensi pusat yang bertanggungjawab dalam agenda pendigitalan sektor awam, MAMPU sentiasa beriltizam untuk mentransformasikan perkhidmatan awam di negara ini. MAMPU yakin satu-satu perkhidmatan itu akan menjadi lebih mudah, cepat dan selamat jika kita dapat memanfaatkan sepenuhnya teknologi dan komunikasi yang sedang bergerak pantas pada masa ini.\u201d\nTan Sri Dr. Jemilah Mahmood, mantan Penasihat Khas (Kesihatan Awam) kepada Perdana Menteri dalam ucaptama beliau yang bertajuk \u201cPandemik COVID-19: Revolusi Dunia Global\u201d, menyentuh lima perkara penting bagi semua pembuat dasar, iaitu akses, penggunaan, inovasi, kepercayaan, dan masyarakat.\nPelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) ialah kesinambungan pelan strategik Teknologi Maklumat dan Komunikasi Sektor Awam 2016\u20132020 dengan pencapaian sebanyak 98.07%. PSPSA merupakan pelan kelangsungan kerajaan digital mampan melalui pendigitalan yang sistematik, konsisten dan bersepadu untuk kesejahteraan rakyat seiring dengan hala tuju nasional dan global.\nPSPSA 2021\u20132025 menggariskan hala tuju strategik sektor awam untuk tempoh lima tahun sebagai panduan dan rujukan agensi sektor awam dalam merangka strategi pendigitalan di agensi masing-masing. Hala tuju strategi pendigitalan yang digarap dalam PSPSA 2021\u20132025 merangkumi perkhidmatan berteraskan empat kumpulan sasar, iaitu rakyat, komuniti perniagaan, agensi kerajaan, dan penjawat awam.\nPerincian lanjut perbincangan ahli panel dan pembentangan Persidangan Digital Sektor Awam 2021 adalah seperti yang berikut:\n\u201cMeneroka Masa Depan Digital: Perubahan Landskap Digital dalam Ekosistem Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan\u201d.\nModerator:\nKamarul Bahrin Haron\nAhli Panel 1:\nDr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, Pengerusi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.\nAhli Panel 2:\nImri Mokhtar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad.\n\u201cMulti-Cloud: Masa Depan dalam Mengimbangi Kitaran Bakat bagi Mencapai Digitalisasi Negara\u201d.\nDr. Abu Hasan Ismail, Ketua Pengarah Urusan Kumpulan AwanBiru Technology Berhad.\n\u201cDisruptive Innovation: Shaping Innovative in Organizational\u201d.\nSabri Abdul Rahman, Pengarah Eksekutif, DAPAT Vista (M) Sdn. Bhd.\n\u201cGoverment Go Cashless\u201d.\nDatuk Dr. Yacob Mustafa, Akauntan Negara Malaysia, Jabatan Akauntan Negara Malaysia.\n\u201cMalaysia Bandar Pintar: Manfaat kepada Rakyat dalam Persekitaran Digital\u201d.\nTPr. Gs. Dr. Shamsaini Shamsuddin, Ketua Pengarah PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa).\n\u201cGoChat: Tips and Tricks in Digital Workplace\u201d.\nHussin Abu Bakar, Ketua Perunding ICT, MAMPU.\nPDiSA 2021 diakhiri dengan ucapan penutup oleh Azih Yusof, Timbalan Ketua Pengarah (ICT), MAMPU merangkap Ketua Pegawai Maklumat Kerajaan (GCIO). Beliau berharap maklumat dan ilmu yang diperoleh pada hari ini akan menjadi titik tolak kepada penjawat awam untuk mempraktikkannya, dan terus mara memperkasakan perkhidmatan digital sektor awam.\nTonton video penuh Persidangan Digital Sektor Awam 2021 di sini." "\u201cSampah\u201c COVID-19 Ancam Fauna\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPara penyelidik memberikan amaran dalam jurnal dalam talian, Animal Biology (22 Mac, 2021) tentang hidupan liar dan ekosistem di seluruh dunia yang menderita akibat pelitup muka pakai buang. Selain itu, sarung tangan lateks dan topeng polypropylene\u00a0 yang digunakan oleh orang ramai untuk melindungi diri daripada koronavirus turut memperburuk masalah pencemaran plastik apabila tidak dibuang dengan betul yang menyebabkan kematian haiwan liar.\nPada bulan Ogos 2020, para sukarelawan yang membersihkan terusan di Leiden, Belanda mendapati ikan kerakap, iaitu spesies ikan air tawar terperangkap di dalam \u201cjari\u201d sarung tangan getah. Ikan tersebut menjadi \u201cmangsa\u201d (hidupan liar) yang pertama kali direkodkan disebabkan oleh sampah COVID-19 di Belanda. Penemuan itu mengejutkan dua orang ahli biologi yang berpusat di Leiden, iaitu Auke-Florian Hiemstra dan Liselotte Rambonnet- yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai sejauh mana kesan sampah COVID-19 terhadap hidupan liar. Mereka melakukan pencarian yang luas, secara dalam talian dan di akhbar untuk mengumpulkan contoh.\nMereka menemui 28 kejadian seperti itu dari seluruh dunia yang menjadi masalah global yang serius. \u201cMangsa\u201d yang paling awal dilaporkan adalah pada bulan April 2020, iaitu seekor murai Amerika (American robin) di Kanada. Burung tersebut mati setelah terjerat dengan pelitup muka. Haiwan peliharaan juga tidak terkecuali dan berisiko menjadi mangsa sampah pandemik COVID-19.\nSeekor kucing peliharaan di Philadelphia didapati memakan sarung tangan., Seekor anjing peliharaan di Boston pula memakan pelitup muka. Plastik di dalam perut haiwan boleh menyebabkan haiwan mati kelaparan. Laporan yang diterbitkan oleh organisasi pemuliharaan laut, OceansAsia yang berpusat di Hong Kong menganggarkan sebanyak 1.56 bilion pelitup muka akan masuk ke dalam lautan dunia pada tahun 2020. Jumlah tersebut adalah antara 8 juta hingga 12 juta tan metrik plastik yang masuk ke dalam lautan setiap tahun. Dari aspek positif sampah pandemik COVID-19, penyelidik mendapati burung menggunakan pelitup muka dan sarung tangan sebagai bahan untuk membina sarang.\n\nIkan kerakap yang terperangkap di dalam sarung tangan getah di dalam terusan di Leiden, Belanda. \n(Gambar: Auke-Florian Hiemstra)\n\nBurung murai yang terjerat dengan pelitup muka di Chilliwack, Kanada.\n(Gambar: Sandra Denisuk, A.-F. Hiemstra et al.)\nRencana ini disesuaikan daripada tulisan Anne Pinto-Rodrigues dalam ScienceNews 2021." "Debat Alam Sekitar Tetap Relevan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPertandingan Debat Alam Sekitar (DAS) antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) merupakan debat IPT yang tertua di Malaysia. Hal ini demikian kerana DAS mula diadakan pada tahun 1986 hingga kini. Pandemik COVID-19 menyebabkan DAS 2021 diadakan secara maya. Penganjuran DAS ke-27 ini istimewa kerana pertama kali berlangsung melalui aplikasi Zoom.\nPada tahun ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) selaku penganjur utama pertandingan bersama-sama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), mendapat sokongan jitu daripada Majlis Debat Universiti Malaya (MADUM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan rakan strategik baharu, iaitu Institut Debat dan Pidato Malaysia (MIDP).\nDAS menjadi legasi debat antara IPT yang konsisten, malah mengekalkan prestijnya sebagai arena perdebatan yang menjadi idaman\u00a0semua pendebat universiti. Pada tahun ini, sebanyak 28 buah pasukan dan 138 orang pendebat dari beberapa buah IPT di seluruh negara menyertai DAS. Pertandingan debat berprestij ini diadili oleh barisan hakim berpengalaman luas dalam bidang masing-masing yang diketuai oleh Nazrul Haji Ismail sebagai Ketua Hakim Tertinggi MADUM.\nDAS berlangsung dari 14 Ogos 2021 hingga 17 Ogos 2021, dan kemuncaknya adalah pada 21 Ogos 2021. Pertandingan akhir DAS menemukan pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selaku kerajaan dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai pembangkang. DAS Peringkat Akhir menyaksikan UIAM berjaya merangkul juara keseluruhan.\nTajuk usul atau isu debat dan sesi debat terbuka pada kali ini agak mencabar. Secara tidak langsung, hal ini membantu para pendebat menjanakan pemikiran kritis dan kritikal. Sebagai contohnya, antara tajuk usul atau isu debat termasuklah \u201cMatlamat Pembangunan Lestari 2030\u201d, \u201cPlastik Sekali-Guna\u201d, dan \u201cPemulihan Ekosistem\u201d. Perkara ini turut diakui oleh Norlin Jaafar, Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia dalam ucapan perasmian tentang hasrat DAS untuk melahirkan generasi anak muda yang mampu membicarakan idea kreatif, bernas dan cakna isu alam sekitar dalam negara dan global.\nKetua Pengarah DBP, Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, menjelaskan bahawa DAS bertujuan memartabatkan bahasa Melayu sebagai wadah yang tepat bagi pengucapan pemikiran tinggi dan berkongsi pemikiran dinamik dalam kalangan mahasiswa. Walaupun penganjuran DAS 2021 berdepan dengan pelbagai cabaran kebiasaan baharu, tetapi DAS tetap signifikan dan relevan untuk membahaskan isu alam sekitar.\n\u201cALAM SEKITAR, TANGGUNGJAWAB BERSAMA\u201d." "Industri Kesihatan, Industri Strategik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Dato\u2019 Mohd Shafiq Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke CAC Swasta UEM Edgenta Traning Centre (UELC), Petaling Jaya membuat lawatan kerja untuk melihat kesiapsiagaan dan keadaan semasa pengurusan kuarantin kendiri di rumah dan pengawasan di fasiliti tersebut.\nDato\u2019 Mohd Shafiq Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)Dato\u2019 Mohd Shafiq Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia\n\nDato\u2019 Mohd Shafiq Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (dua dari kanan). Turut hadir Datuk Dr Chong Chee Keong, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dato\u2019 Indera Dr Sha\u2019ari, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, En Syahrunizam Samsudin, Pengarah Urusan UEM Edgenta Bhd, Dr Nik Fawaz Nik Abdul Aziz, Ketua Edgenta Healthcare, pegawai kanan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, dan Edgenta Healthcare.\nMohd Shafiq dalam lawatan tersebut menjelaskan bahawa kepentingan pembangunan teknologi tempatan Malaysia dalam industri kesihatan harus dilihat sebagai industri strategik yang menyumbang kepada ekonomi negara. Projek rintis Home Quarantine Monitoring System dibangunkan secara tempatan dilengkapi teknologi \u00a0Global Positioning System (GPS) untuk mengawasi pesakit yang diarahkan menjalani kuarantin kendiri di rumah melalui pemantauan masa nyata seperti saranan KKM. Sistem ini terdiri daripada e-Bracelet RFID dan Covert Tracking Unit (CTU) yang akan mencetuskan amaran dan memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai sebarang pelanggaran SOP.\nMohd Shafiq turut melawat Mobile Testing Laboratory di CAC Swasta UEM Edgenta dan diberikan taklimat proses ujian makmal COVID-19. Kerjasama KKM dengan pihak swasta untuk mewujudkan \u201ccapacity building\u201d ujian makmal melalui pengoptimuman fasiliti makmal swasta turut dibincangkan." "Tujuh Persekitaran demi Kebestarian dan Kelestarian DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBachok\u00a0\u00a0\u2013 Penerimaan masyarakat terhadap kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara masih lagi\u00a0tidak memuaskan. Sikap dingin dan\u00a0pandangan serong segelintir ahli masyarakat termasuklah dalam kalangan orang Melayu sendiri\u00a0juga sering dihadapi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai institusi yang memikul tanggungjawab besar dalam menjaga serta memartabatkan bahasa di negara ini.\nSehubungan dengan itu, Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato\u2019 Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan, yang juga merangkap Pro-Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), dalam ucapan beliau bertitah bahawa DBP perlu menghadapi perubahan dan persekitaran yang ada dengan bijaksana, dan istiqamah demi kebestarian serta kelestarian DBP. Antara tujuh persekitaran tersebut termasuklah dari segi ekonomi, politik, budaya, sosial, demografi, teknologi dan pendidikan.\nMenurut Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato\u2019 Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, persekitaran tersebut menuntut DBP agar senantiasa melakukan inovasi serta kaizen dalam setiap produk yang dihasilkannya dan dalam setiap perkhidmatan yang disediakan serta disampaikannya.\nMelakukan inovasi dan melaksanakan kaizen ialah suatu keperluan dan kemestian demi memastikan kebestarian dan kelestarian sesebuah organisasi. Selain itu, berhubung kait dengan peri pentingnya memberikan perhatian kepada cabaran persekitaran politik sebagai contoh, ada hubung kaitnya dengan perubahan dasar mahupun wujudnya dasar-dasar baharu Kerajaan yang memberikan impak kepada DBP.\nTambah beliau lagi, satu lagi cabaran baharu yang perlu dihadapi oleh DBP ialah usaha untuk mengimarahkan bahasa Melayu sebagai satu daripada bahasa yang mendapat tempat di peringkat antarabangsa. Hal tersebut ekoran pengumuman Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob bahawa kerajaan bercadang untuk mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai persidangan antarabangsa serta acara-acara rasmi kerajaan yang lain sebagai manifestasi sokongan kerajaan dalam pengantarabangsaan bahasa Melayu.\nSelain itu, menurut beliau, terdapat empat tema utama yang\u00a0perlu\u00a0diambil kira oleh DBP dalam usaha berterusannya merekayasa dan mengimarahkan bahasa Melayu. Antaranya termasuklah akses, kecemerlangan, pendidikan dan nilai ekonomi. Keempat-empat tema\u00a0ini\u00a0juga perlu diberi perhatian oleh institusi-institusi pendidikan di negara ini.\nYang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato\u2019 Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz juga menyeru semua sarjana dan ilmuwan di UMK khususnya, untuk mengambil inisiatif menterjemahkan tesis ataupun buku masing-masing yang ditulis dalam bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu sebagai tanggungjawab moral dalam mengimarahkan bahasa, sekali gus membina kehidupan bernegara yang diidam-idamkan.\nSudah tentulah buku atau tesis yang hendak diterjemahkan itu berpotensi untuk dipasarkan, yang bukan sahaja di dalam negara, bahkan ke seluruh Nusantara, dan dunia. Saya yakin, UMK dan DBP boleh bekerjasama dalam penerbitannya, sekali gus memastikan pelbagai bidang ilmu dalam bahasa Melayu yang bermanfaat kepada kemaslahatan ummah dapat diwariskan kepada dunia berbahasa Melayu, khususnya.\nBeliau berkata demikian dalam program Kembara Titah Kelantan, serta majlis pelancaran buku terbitan DBP, UMK dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang berlangsung di Auditorium, Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu, UMK yang berlangsung pada pagi tadi.\nProgram tersebut turut dihadiri oleh Dr. Arham Abdullah (Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMK), Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran (Ketua Pengarah DBP), Tuan Haji Zulkifle Ab Rahman (Timbalan Yang DiPertua MAIK), Dato\u2019 A Aziz Deraman (mantan Ketua Pengarah DBP dan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan), Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi (Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP) serta wakil pertubuhan dan persatuan di Kelantan." "Paralimpik Tokyo 2020 \u2013 22 Atlet Buru Pingat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKetua Kontinjen :\u00a0 \u00a0Dato\u2019 Sri Megat D Shahriman bin Dato Zaharudin\nPembawa Bendera\u00a0 \u00a0 :\u00a0 \u00a0Siti Noor Iasah dan Bonnie Bunyau Gustin\nMemanah\nSuresh Selvatamby (Recurve Lelaki)\nWiro Anak Julin (Kompoun Lelaki)\n\u00a0\n\u00a0Olahraga\nAbdul Latif Bin Romly (Lompat Jauh \u2013 T20)\nMuhammad Ziyad Zolkefli (Lontar Peluru \u2013 F20)\nMohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100m \u2013 T36)\nWong Kar Gee (Lompat Jauh \u2013 T13)\nSiti Noor Iasah Mohamad Ariffin (400m \u2013 T20)\nBadminton\nCheah Liek Hou (Single Lelaki SU5)\nDidin Bin Terasoh (Single Lelaki SH6)\nBoccia\nChew Wei Lun (Mix Individual \u2013 BC1)\nBerbasikal\nMohamad Yusof Hafizi Shaharuddin\nMuhammad Hafiz Jamali\nZuhairie Ahmad Tarmizi\nNur Azlia Syafinaz Mohd Zais\nNurul Suhada Zainal\nAngkat Berat\nBonnie Bunyau Gustin (Lelaki 72kg)\nJong Yee Khie (Lelaki 107kg)\nRenang\nBrenda Amelia Larry\nMuhammad Nur Syaiful Bin Zulkefli\nJamery Anak Siga\nPing Pong\nChee Chaoming (Single \u2013 TT9)\nTenis Kerusi Roda\nAbu Samah Borhan (Single Lelaki)\n\u00a0\nSelamat berjuang para atlet Malaysia. Semoga kejayaan gemilang milik anda, untuk Malaysia!" "Pelitup Muka Berganda dan Pelindung Muka, 96% Lebih Selamat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pemakaian dua lapis pelitup muka dan pelindung muka merupakan satu strategi penting dan selamat untuk mengurangkan penularan COVID-19 dalam kalangan masyarakat Malaysia. Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan mengatakan bahawa pemakaian pelitup muka jenis kain di atas pelitup muka pembedahan bersama-sama pelindung muka dapat memberikan lebih banyak perlindungan kepada individu daripada jangkitan varian Delta penularan COVID-19. \u201cPenggunaan pelindung muka dan dua lapis pelitup muka dapat memberikan perlindungan sebanyak 96% terhadap jangkitan varian Delta,\u201c kata beliau. Menurut\u00a0 kajian baharu, Varian Membimbangkan atau Variant of Concern (VOC) Delta COVID-19 dapat berkembang biak di rongga hidung individu yang terinokulasi dengan vaksin COVID-19.\n\u00a0\n(Sumber berita dan gambar: New Straits Times, \u00a023 Ogos, 2021)" "Rayuan Darah Warga Pulau Pinang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPulau Pinang \u2013 Kini, bekalan darah di Hospital Pulau Pinang semakin susut, sedangkan permintaan bagi bekalan darah untuk kegunaan pesakit meningkat. Berdasarkan hantaran terbaharu yang dimuat naik di Facebook Derma Darah Penang, hingga hari ini, hanya satu beg darah yang berjaya diperoleh dalam Kempen Derma Darah di Dewan Sri Pinang, Georgetown.\nProgram Derma Darah anjuran Team Blood Bank bersama-sama YB Phee Boon Poh, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang Alam Sekitar dan Kebajikan diadakan dari 23 Ogos 2021 hingga 24 Ogos 2021 di Dewan Sri Pinang.\nKementerian Kesihatan Malaysia menyeru warga Pulau Pinang yang layak menderma darah untuk bersama-sama menghulurkan bantuan kepada pesakit yang memerlukan. Orang ramai yang berhasrat\u00a0 menderma darah boleh menghubungi talian: 04-2225161 atau mesej terus ke Facebook Derma Darah Penang.\n(Sumber gambar: Derma Darah Penang)" "Nilai Pasaran Ikan Pari Tinggi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Walaupun jumlah pendaratan ikan pari sedikit, tetapi nilai pasarannya adalah tinggi. Fakta ini dikupas oleh Dr. Ahmad Ali, mantan Pengarah Kanan, Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) yang juga penulis Ensiklopedia Pari dalam rancangan \u201cPeka Bahasa: Ensiklopedia Pari: Kenali Ikan Pari\u201d yang disiarkan secara langsung menerusi media sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebentar tadi.\nMenurut Ahmad, ikan pari mempunyai banyak perbezaan daripada ikan lain. Insang ikan pari ada di bawah badannya. Selain itu, ikan pari membiak secara beranak. Gigi ikan pari leper dan ususnya pula pendek. Tulang ikan pari ialah tulang rawan dan boleh dimakan.\nBeliau menjelaskan alat pembiakan ikan pari yang dinamakan \u201cklasper\u201d dapat menentukan tahap kematangan ikan pari jantan. Klasper terletak di pangkal ekor ikan pari. Nelayan atau individu yang ingin menentukan status kematangan ikan pari boleh memegang klasper dengan menggunakan jari. Klasper yang keras menandakan kematangan ikan pari. Manakala, klasper yang lembik menandakan bahawa ikan pari itu belum matang.\nTambah beliau, Jabatan Perikanan Malaysia (JPM) melalui ISMAT menjalankan beberapa kajian di beberapa batang sungai. Sebagai contohnya, di sungai sekitar Gua Musang, Sungai Jeli dan Sungai Pergau yang sememangnya terdapat ikan pari air tawar walaupun jumlahnya sedikit.\nPenemuan spesies ikan pari air tawar ini telah dimaklumkan kepada JPM untuk tindakan agar dapat diuruskan secara lestari bagi mengelakkan kepupusan jika dieksploitasi secara tidak terkawal.\nBerdasarkan penyelidikan yang dijalankan sejak tahun 1990, terdapat sebanyak 84 spesies ikan pari, termasuklah ikan pari air tawar daripada 14 keluarga di Malaysia. Malaysia berada pada kedudukan kedua selepas Indonesia yang memiliki sebanyak 106 spesies ikan pari.\nTambah Ahmad lagi, sebanyak 1.5% ikan pari adalah daripada pendaratan ikan marin. Walaupun jumlah pendaratan ikan pari sedikit, tetapi nilai pasarannya adalah tinggi. Oleh itu, status sumber ikan pari di Malaysia masih konsisten dan stabil berbanding dengan negara-negara jiran.\nPara nelayan dinasihati agar melepaskan anak-anak ikan pari bagi memastikan kelestarian sumber ikan pari. Jika kita menangkap induk ikan pari dan anaknya, lama-kelamaan populasi ikan pari akan pupus.\nMengakhiri bicara, Ahmad berharap agar Ensiklopedia Pari yang menyenaraikan 100 spesies ikan pari daripada hasil kajian yang dijalankan oleh penyelidik JPM bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) mampu dijadikan rujukan kepada masyarakat di samping memberikan kesedaran kepada orang ramai untuk melestarikan ikan pari.\nVideo rancangan \u201cPeka Bahasa: Ensiklopedia Pari: Kenali Ikan Pari\u201d boleh ditonton di sini." "Naratif Sejarah Etnoteknologi Melayu Perlu Diubah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Persepsi umum bahawa tamadun Melayu tidak mempunyai sains dan teknologi sendiri. Etnoteknologi tamadun Melayu didakwa bergantung pada tamadun Islam, Barat, China, Jepun, dan Korea. Benarkah?\nPerbincangan menarik untuk merungkaikan dakwaan ini dikupas oleh Profesor Dato\u2019 Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud, Presiden Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI), Profesor UKM\u2013Petronas Tenaga Hidrogen Lestari, Institut sel Fuel, Profesor Kejuruteraan Kimia, Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam Wacana \u201cKincir Air Malayonesia: Satu Kajian Awal\u201d anjuran bersama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI).\nWacana ATMA yang berlangsung secara maya pada hari ini dirasmikan oleh Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, Pengarah ATMA yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nMenurut Wan Ramli, etnoteknologi merujuk teknologi yang dihasilkan oleh masyarakat sesuatu tamadun. Tamadun Melayu berkembang luas dalam pelbagai bidang, termasuklah etnosains. Satu daripada produk termaju dalam bidang etnosains yang dihasilkan pada zaman kegemilangan tamadun Melayu ialah kincir air.\nKajian etnoteknologi Melayu yang dijalankan oleh ATMA bertujuan menyerlahkan sumbangan sains dan teknologi tamadun Melayu. ASASI yang merupakan Pertubuhan Bukan Kerajaan berperanan mempromosikan kajian sains dan teknologi Melayu Islam untuk menghasilkan sains dan teknologi moden yang berteraskan Islam dan tamadun Melayu.\nSkop kajian etnoteknologi Melayu yang dijalankan oleh ATMA dan ASASI bermula dari zaman sebelum pra-Islam hingga kini, termasuklah penglibatan dalam gerakan pengislaman ilmu dan pemeribumian ilmu, khususnya pengislaman Melayu dalam bidang sains dan teknologi.\nWan Ramli menyentuh sejarah kincir air di rantau Melayonesia dengan memerihalkan sejarah istilah \u201cMalayonesia\u201d. Pada tahun 1850, penyelidik George Samuel Windsor Earl dalam Journal of The Indian Archipelago and Eastern Asia, menamakan rantau Malayonesia merujuk kawasan penutur bahasa Melayu polinesia, termasuklah bahasa Melayu di Tanah Melayu, Indonesia, Kemboja dan Vietnam. Istilah ini dipopularkan oleh Profesor Shaharir Mohamad Zain yang digunakan hingga kini.\nPenduduk rantau Malayonesia menjadikan pertanian, khususnya penanaman padi beras sebagai kegiatan utama kerana nasi merupakan makanan ruji penduduk di kawasan ini. Oleh itu, bagi memastikan kawasan sawah padi mendapat bekalan air yang mencukupi, penduduk di rantau Malayonesia membina kincir air selain terusan dan empangan.\nEtnoteknologi kincir air dalam tamadun Melayu silam turut menghasilkan istilah khusus dalam bahasa Melayu, antaranya termasuklah baling-baling, besut, sumbu, ganda, peraku atau poraku (istilah Minangkabau). Namun begitu, banyak istilah ini pupus bersama-sama kepupusan etnoteknologi Melayu.\nWan Ramli berpandangan bahawa naratif sejarah tamadun Melayu harus diubah melalui kajian, iaitu berdasarkan kajian sejarah ilmu orang Melayu yang bermula sebelum kedatangan Islam. Kesarjanaan Melayu harus dilihat sejak sejarah Melayu dicatatkan dalam bahasa Melayu di atas prasasti huruf Pallava purba yang bercampur dengan bahasa Sanskrit. Hal ini bertujuan melengkapkan pengislaman ilmu dan pemeribumian ilmu, khususnya pengislaman Melayu dalam bidang sains dan teknologi.\nWacana ini boleh diikuti di Facebook Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) di sini." "Modal Insan Mahir melalui STEM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201c64 Tahun Kemerdekaan: Ke Manakah Hala Tuju STEM?\u201d merupakan satu daripada program Ambang Merdeka yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Persatuan STEM Kebangsaan. Program ini bersiaran secara langsung menerusi media sosial DBP.\nProgram yang membincangkan isu hala tuju STEM ini dikelolakan oleh Profesor Dato\u2019 Dr. Noraini Idris, Presiden Persatuan STEM Kebangsaan, selaku moderator. Antara ahli panel yang terlibat termasuklah Mohd. Khairul Hakimi Mohd Nawi, Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Datuk Ir. Ts. Dr. Siti Hamisah Tapsir, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Datuk Dr. Mohd Yusoff Sulaiman, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT).\n\u201cDalam mendepani cabaran industri 4.0, generasi muda perlu menguasai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi melahirkan modal insan yang mahir dalam bidang teknologi baharu yang lebih kompleks yang menjadi teras dalam industri 4.0,\u201d ujar Noraini.\nMenurut Siti Hamisah, sejak Rancangan Malaysia Pertama, Malaysia mempunyai hala tuju STEM pada peringkat pendidikan dan dari segi pembangunan teknologi hingga tertubuhnya MOSTI. Pada masa ini, MOSTI sedang membangunkan Malaysian Start-Ups.\n\u201cBagi mereka yang berkemahiran dalam bidang STEM, banyak peluang untuk membangunkan teknologi, termasuklah pada peringkat kementerian dan agensi lain. MOSTI akan memberikan sokongan dari segi kewangan dan bantuan lain hingga mereka berjaya,\u201d ujar Siti Hamisah.\nTambah Siti Hamisah, Pusat Sains Negara dan Planetarium Negara yang berfungsi menambahkan minat belia untuk mengikuti bidang sains perlu mengadakan pelbagai program STEM bagi menyokong perkara yang diselaraskan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.\n\u00a0Semangat kemerdekaan akan lebih bermakna apabila pengisian kemerdekaan dipelopori oleh bakat negara menggunakan ilmu sains, teknologi dan inovasi ke arah membangunkan tamadun Malaysia yang cemerlang.\nMohd Yusoff mengulas peranan STEM dalam dasar kerajaan. Jika tiada STEM, kita tidak boleh melakukan bioteknologi atau nanoteknologi yang merupakan bahan dalam pembuatan industri yang mempunyai banyak peranan dan mendatangkan kebaikan. STEM sangat penting semasa pandemik atau selepas pandemik bagi pembangunan negara. \u201cPenyelidikan perlu diperbanyak, terutamanya semasa krisis pandemik ini supaya kita sentiasa bersedia dengan perkara yang akan berlaku selepas pandemik,\u201d kata beliau.\n\u201cHala tuju STEM di Malaysia pada tahun 2020 masih kompetitif tetapi keupayaan dan keterangkaian masih lemah. Jadi, peluang untuk bekerjasama dengan negara lain adalah terhad. Senario tahun 2030, kita mahu Malaysia bersaing dengan negara maju dengan mengadakan pelbagai program STEM untuk menguatkan keupayaan dan keterangkaian Malaysia bagi mencapai hala tuju STEM yang diinginkan,\u201d ujar Mohd Yusoff.\n\u00a0Elemen penting dalam perancangan masa depan dalam bidang STEM ialah kita memerlukan inovasi, perkongsian antara kerajaan dengan industri, sentiasa berdaya saing dan mempunyai keterangkuman dalam ekosistem STEM yang melibatkan semua pihak.\nMohd. Khairul Hakimi pula mengulas berkaitan dengan hala tuju STEM dari sudut automotif. Beliau menyatakan bahawa usaha penyelidikan dan pembangunan yang dilakukan oleh MARii memberikan faedah dan kemajuan teknologi dalam pembuatan kenderaan yang efisien dan ada kenderaan yang berkonsepkan masa depan.\nMenurut Mohd. Khairul Hakimi, dalam situasi pandemik ini, graduan yang masih belum mendapat pekerjaan boleh menambah kemahiran sebagai nilai tambah diri dengan mengikuti kursus secara dalam talian yang dianjurkan oleh agensi yang berkaitan seperti Marii.\nDisebabkan perubahan semasa teknologi yang semakin berkembang pesat, maka cara pekerjaan konvensional kita berubah. STEM merupakan platform yang jitu untuk melahirkan graduan atau mengeluarkan produk bagi mengisi kekosongan pekerjaan yang berubah.\nProgram Ambang Merdeka: \u201c64 Tahun Kemerdekaan: Ke Manakah Hala Tuju STEM?\u201d boleh ditonton di sini." "Hama Rumah Punca Resdung\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Penyakit resdung walaupun tidak berbahaya, tetapi memberikan kesan terhadap kualiti hidup. Sembang Tamu: Sembang Sihat Siri 3: Resdung anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah dengan kerjasama Persatuan Perubatan Islam Malaysia mengupas masalah yang disiarkan secara langsung menerusi media sosial DBP.\nDr. Muhammad Yusri Musa, Pakar Otorinolaringologi dan Pensyarah Perubatan, Universiti Sains Malaysia memerihalkan masalah resdung yang merupakan radang rongga hidung atau sinus, terutamanya disebabkan oleh alahan di hidung dan sering disalahertikan atau dikelirukan dengan penyakit lain. Istilah perubatan yang berkaitan dengan resdung ialah rhinitis, sinusitis dan rhinosinusitis.\nTambah beliau, resdung boleh disebabkan oleh faktor genetik atau keturunan yang sememangnya sudah ada kecenderungan alahan. Selain itu, persekitaran, jangkitan kuman dan pencemaran juga menjadi punca penyakit resdung.\nBerdasarkan kajian, sebanyak 60% hingga 70% alahan yang paling kerap berlaku hingga menyebabkan seseorang itu mengalami resdung ialah alahan terhadap hama rumah. Hama rumah ialah mikroorganisma seperti habuk debu karpet, langsir, dan sebagainya. Hama yang dihidu akan masuk ke dalam hidung hingga menyebabkan radang, maka berlakulah simptom resdung.\nMenurut beliau, gejala resdung yang utama, antaranya termasuklah gatal hidung, bersin dengan kerap dan melebihi daripada kebiasaan, hidung berair, dan hidung tersumbat. Seseorang itu mengalami penyakit resdung apabila dijangkiti tanda resdung seperti bengkak dalam hidung, septum bengkok, mata merah, dan terdapat keradangan dalam hidung.\nMenurut Muhammad Yusri lagi, terdapat penyakit lain yang dikaitkan atau dikelirukan dengan penyakit resdung, antaranya termasuklah polips (nasal polyps), tulang atau rawan hidung bengkok, tonsil bengkak, telinga bernanah atau berair, jerawat, ekzema atau ruam pada kulit muka. Kesemua penyakit ini boleh berlaku kepada pesakit yang mengalami resdung dan perlu dirawat.\nBeliau juga menjelaskan beberapa jenis penyakit yang dikaitkan secara salah sebagai resdung. Antaranya termasuklah kanser hidung dan sinus, ketumbuhan, obstructive sleep apnea, trauma, dan kemasukan benda asing ke dalam hidung. Rawatan bagi penyakit ini tidak sama dengan rawatan penyakit resdung kerana kesemua penyakit ini bukan tergolong dalam penyakit resdung. Perkara ini perlu diketahui umum bagi mengelakkan pesakit mengambil rawatan yang salah.\nMuhammad Yusri berkata, \u201cPenyakit resdung boleh dirawat bagi mengurangkan gejala dengan pelbagai kaedah, antaranya termasuklah mengelakkan faktor alahan dengan cara menjaga kebersihan diri, rumah dan persekitaran, menggunakan pelitup muka ketika membersihkan rumah dan sebagainya, sentiasa mencuci hidung, melakukan sedutan wap (menthol steam inhalation), menggunakan ubatan atas nasihat doktor atau melakukan pembedahan. Diagnosis dan rawatan awal ialah pilihan terbaik untuk mengelakkan komplikasi dan masalah yang lebih kronik.\u201d\nBeliau juga menyarankan pesakit melakukan ujian alergi seperti ujian alergi kepada kulit (skin prick test) atau melakukan ujian alergi melalui darah (serum imunoglobulin E).\nKajian membuktikan bahawa jika seseorang itu mempunyai satu daripada penyakit yang berkaitan dengan alahan sama ada asma, ekzema ataupun alahan hidung, jika tidak dirawat lebih awal, kemungkinan risiko untuk mendapat resdung adalah lebih tinggi.\nSebelum mengakhiri bicara, Muhammad Yusri menasihati orang ramai agar berjumpa dengan doktor sebaik-baiknya pakar telinga, hidung dan tekak untuk pengesahan dan mendapat nasihat yang betul tentang penyakit resdung. Penyakit resdung ialah penyakit sepanjang zaman dan tidak dapat dihilangkan, tetapi boleh dikurangkan komplikasinya.\nRancangan Sembang Tamu: Sembang Sihat Siri 3: Resdung boleh ditonton di sini." "Bahan Cemar dalam Vaksin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0Tokyo \u2013 Jepun menangguhkan penggunaan 1.63 juta dos vaksin Moderna COVID-19 oleh Moderna Inc (MRNA.O) pada 26 Ogos 2021 lebih dari seminggu setelah pengedar domestik menerima laporan pencemaran dalam beberapa botol vaksin tersebut.\nJepun dan Moderna mengatakan tidak ada masalah keselamatan atau keberkesanan yang dikenal pasti dan penangguhan itu hanya sebagai langkah berjaga-jaga. Namun begitu, langkah penangguhan itu mendorong beberapa buah syarikat Jepun membatalkan vaksinasi pekerja yang direncanakan pada 26 Ogos 2021 dan menyebabkan The European Medicines Agency (EMA) melancarkan siasatan mengenai masalah tersebut.\nSyarikat farmasi Moderna dan Rovi (ROVI.MC) di Sepanyol yang membungkus vaksin Moderna untuk pasaran selain Amerika Syarikat, mengatakan bahawa pencemaran itu mungkin disebabkan oleh masalah yang timbul pada peringkat pembuatan dan pengeluaran vaksin itu di Rovi.\nKeputusan untuk menangguhkan penggunaan Moderna timbul seiring dengan kritikan yang timbul terhadap Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga kerana kempen vaksin yang lambat kepada rakyat Jepun. Jepun memerangi gelombang jangkitan terburuknya, yang dipacu oleh varian Delta dengan jangkitan harian baharu melebihi 25 000 kes pada bulan Ogos ini.\nBerdasarkan penjejak vaksin Reuters,\u00a0 Jepun mencapai inokulasi sebanyak 54% penduduknya yang sudah mendapat sekurang-kurangnya\u00a0 satu dos vaksin, manakala sebanyak 43% rakyatnya telah divaksin sepenuhnya.\n(Sumber: Reuters)" "Mikroplastik Ancam Kita dan Hidupan Marin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMalaysia adalah antara pengeluar makanan laut yang terbesar di Asia Tenggara, malah tidak hairanlah jika hasil laut merupakan hidangan protein utama masyarakat tempatan. Kajian yang dijalankan oleh The World Wide Fund for Nature (WWF 2020) melaporkan bahawa menjelang tahun 2050, lautan akan mengandungi lebih banyak plastik daripada ikan berdasarkan berat.\nMalaysia turut menyumbang kepada peningkatan jumlah sisa plastik alam sekitar. Sifat plastik yang tahan lama, murah dan mudah didapati menjadikannya pilihan utama untuk digunakan secara meluas oleh masyarakat dan di sektor industri. Peningkatan pengeluaran plastik dunia disebabkan permintaan yang tinggi menjadi punca berlakunya penyelewengan dalam penggunaan dan pengurusan bahan tersebut.\nMenyedari isu serius ini, kerajaan mengambil langkah bijak dengan memperkenalkan \u201cRoadmap Towards Zero Single-Use Plastic 2018-2030\u201d untuk mengawal pengeluaran dan pengurusan sisa plastik. Pembuangan sisa plastik alam sekitar, terutamanya di persekitaran akuatik sekali gus mengundang isu dan masalah sejagat.\nKesan akibat tindakan alam semula jadi seperti cahaya matahari, ombak dan kesan jangka panjang, mengubah sisa plastik kepada partikel yang dikenali sebagai mikroplastik. Mikroplastik ialah kepingan plastik kecil yang panjangnya kurang daripada 5 milimeter yang boleh membahayakan hidupan lautan dan akuatik. Sifat mikroplastik yang kecil inilah yang mengancam kehidupan air.\nTerdapat banyak kajian yang dilaporkan mengenai kesan buruk plastik kepada hidupan marin. Ada hidupan laut yang mati akibat memakan plastik atau terperangkap dalam sisa plastik. Lebih dikhuatiri, bahan plastik yang dimakan masih tersimpan dalam sistem badan hidupan laut.\nHal ini sekali gus mencetuskan fenomena mikroplastik yang menjadi tumpuan masyarakat dunia pada hari ini. Hal ini demikian kerana bahan cemar ini menjadi isu yang serius, iaitu isu plastik dalam sistem pencernaan manusia. Kajian demi kajian giat dilakukan, malah sudah terbukti adanya mikroplastik dalam badan hidupan laut yang menjadi sumber protein utama manusia.\nKerang hijau atau nama saintifiknya Perna viridis merupakan antara haiwan yang menjadi tumpuan kerana sifatnya sebagai pemakan menuras atau filter feeder dan menjadi sumber protein kepada manusia. Pengeluaran kerang hijau banyak ditemukan di selatan tanah air, khususya di negeri Johor. Johor ialah pengeluar utama kerang di Malaysia.\nPeningkatan kawasan perindustrian, sikap masyarakat dan kegiatan perikanan adalah antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan pembuangan plastik dalam air sekali gus menyumbang kepada peningkatan mikroplastik. Mikroplastik dalam kerang menjadi isu serius melibatkan kesihatan manusia kerana manusia memakan kerang secara menyeluruh tanpa perlu mengasingkan saluran pencernaan kerang.\nRisiko mikroplastik terhadap kesihatan manusia masih pada peringkat kajian. Walau bagaimanapun, para penyelidik berjaya mengenal pasti beberapa jenis plastik yang boleh melarut dan meresap toksin. Oleh hal yang demikian, kita seharusnya berasa bimbang jika mikroplastik daripada makanan laut terkumpul dalam tubuh kita melalui rantaian makanan yang mendatangkan impak negatif kepada kesihatan.\nDemi menjamin kebersihan hasil makanan laut, masyarakat seharusnya mengambil langkah proaktif seperti mengurangkan pembuangan sisa plastik ke dalam sungai atau laut. Walaupun ramai yang tidak cakna kandungan yang masuk ke dalam makanan mereka, masyarakat perlu mengambil berat akan hal ini kerana ancaman kepada makanan laut bukan sahaja memberi impak kepada individu tetapi menjadi beban kepada sistem kesihatan awam." "Emas Bonnie\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bonnie Bunyau Gustin menyumbangkan emas pertama Malaysia di Paralimpik Tokyo dalam acara powerlifting bagi kategori 72 kilogram (kg) sebentar tadi.\nBonnie yang merangkul emas dengan angkatan seberat 228 kg berjaya mencipta rekod baharu sekali gus memecahkan rekod paralimpik Rio yang dipegang oleh Rasool Mohsin, atlet Iraq, dengan angkatan seberat 227 kg.\nBonnie mendahului saingan, bermula dengan angkatan seberat 217 kg, 225 kg, 228 kg sebelum percubaan keempat untuk memecahkan rekod dunia miliknya dengan angkatan seberat 231 kg, namun gagal.\nPingat perak dimenangi oleh\u00a0 Mahmoud Attia dari Mesir dengan angkatan seberat 191 kg.\u00a0 Mickey Yule dari Great Britain pula memenangi pingat gangsa dengan angkatan seberat 182 kg.\nSyabas Bonnie!\n\u00a0\n(Sumber gambar: Utusan Malaysia)" "Sokongan Institusi Diraja Penting dalam Mempertahankan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBachok\u00a0\u00a0\u2013\u00a0Raja dan rakyat berpisah tiada. Sehubungan dengan itu, dalam hal ini, institusi diraja merupakan entiti yang sangat penting dalam memelihara dan mempertahankan\u00a0bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan\u00a0bagi rakyat negara ini.\nDemikian antara inti pati ucapan\u00a0 YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika berucap dalam majlis Kembara Titah Kelantan, yang berlangsung di Auditorium Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu, UMK, Bachok, Kelantan pada pagi ini.\nDalam ucapan alu-aluannya, beliau turut menyatakan bahawa keberangkatan hadir dan keprihatinan Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato\u2019 Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz ke majlis yang diadakan itu memberikan makna yang besar terhadap perkembangan program persuratan dan penerbitan kerana beliau sentiasa menyokong penuh program seumpama itu.\nTambah YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, antara kerjasama yang pernah terjalin antara institusi diraja dengan DBP ialah Majlis Penandatanganan Perjanjian Kerjasama Penerbitan Ensiklopedia Budaya dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (EBAIK), pada tahun 2019 dan Wacana Diraja: Ekonomi Negara Pasca-COVID 19, pada tahun 2020.\nMenurut beliau, program yang berlangsung pada hari ini merupakan antara inisiatif DBP untuk mengukuhkan kerjasama dengan institusi diraja dalam usaha untuk memastikan bahasa kebangsaan terus dimartabatkan.\nBahasa Melayu\u00a0juga telah menjadi wahana pengikat perpaduan ampuh,\u00a0mewujudkan rasa kasih sayang dan muhibah dalam kalangan masyarakat Malaysia seiring\u00a0dengan teras kebersamaan dalam Keluarga Malaysia.\nSementara itu, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran juga berharap agar hubungan baik dan kerjasama antara DBP dengan UMK dapat dipertingkatkan pada masa akan datang dengan jalinan pelbagai program dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.\nSelain itu, tambah beliau lagi, DBP terus bergerak dan memperkasakan penerbitannya. Seiring dengan perubahan teknologi, DBP memperluas wahana penerbitan secara digital dan yang terbaharu telah membangunkan pelantar digital, iaitu JendelaDBP. Beliau juga berharap agar usaha pendigitalan ini akan terus memandaikan anak bangsa melalui bahasa Melayu." "Saringan Kesihatan Percuma di Klinik PeKa B40\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Ramalan Cuaca Hari Kebangsaan 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBerdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, negara masih berada dalam monsun barat daya dan dijangka akan berterusan hingga pertengahan bulan September 2021. Pada kebiasaannya, angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah. Hal ini menyebabkan keadaan atmosfera lebih stabil sekali gus mengurangkan pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini.\nSecara tidak langsung, hal ini juga menyebabkan kebanyakan tempat di seluruh negara cenderung menerima bilangan hari tanpa hujan yang lebih tinggi berbanding dengan bilangan hari hujan. Walau bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan petir disebabkan oleh fenomena garis badai masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung Malaysia dan barat Sabah pada awal pagi. Garis badai merupakan garisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan hingga beberapa jam.\nCuaca pada Hari Kebangsaan, 31 0gos 2021 diramalkan akan mengalami ribut petir pada waktu pagi dan petang di kebanyakan tempat. Pada sebelah pagi, diramalkan hujan atau ribut petir di satu dua tempat di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak (Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, dan Betong), Sabah (Kudat, Sandakan dan Tawau), dan Wilayah Persekutuan Labuan. Bagi tempat-tempat lain, cuaca baik atau tiada hujan.\nPada waktu petang pula, diramalkan Malaysia akan mengalami hujan atau ribut petir di satu dua tempat di seluruh Semenanjung Malaysia, Sarawak, Sabah (Pantai Barat, pedalaman dan Sandakan), serta Wilayah Persekutuan Labuan. Sementara itu, cuaca baik atau tiada hujan diramalkan di tempat-tempat lain.\nSeterusnya, cuaca pada waktu malam diramalkan hujan di satu dua tempat di Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak (Kapit, Bintulu, Miri, dan Limbang), Sabah (Pantai Barat dan pedalaman), serta Wilayah Persekutuan Labuan. Namun begitu, cuaca diramalkan baik dan tiada hujan di tempat-tempat lain.\nUntuk maklumat cuaca terkini, klik di sini atau melalui aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia." "Sindrom Havana\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSatu penyakit misteri kini sedang menimpa para diplomat, ejen perisik dan pegawai kedutaan Amerika Syarikat dan Kanada di seluruh dunia. Lebih 200 orang diplomat negara tersebut mempunyai gejala yang membimbangkan para doktor. Kes yang pertama dikesan dan dikenal pasti di Cuba, kes itu kemudiannya muncul di Australia, Austria, Colombia, Rusia, dan Uzbekistan.\nApakah faktor penyebab \u201csindrom Havana\u201c? Pada akhir tahun 2016 di Havana, ibu kota Cuba, beberapa orang pegawai CIA (Central Intelligence Agency) yang bekerja di kedutaan Amerika Syarikat menggambarkan sensasi tekanan serta denyutan di kepala mereka dan bunyian yang kedengaran seperti sekumpulan cengkerik atau reriang (cicada). Mereka turut mengalami loya, keletihan dan menghadapi masalah untuk mengingati sesuatu.\nMereka juga mengadu sakit telinga dan mengalami masalah pendengaran. Pengimejan resonans magnetik yang dijalankan terhadap pesakit menunjukkan bahawa terdapat kerosakan tisu yang menyerupai kecederaan yang disebabkan oleh kemalangan kereta atau letupan bom.\nKerajaan Amerika Syarikat menjadi takut, lalu menarik keluar lebih daripada separuh kakitangan kedutaannya di kota Cuba itu. Adakah kejadian ini dikaitkan dengan pihak Cuba yang menggunakan senjata misteri yang baharu? Pada mulanya, kerajaan Amerika Syarikat mengesyaki penggunaan senjata sonik, iaitu alat yang menggunakan gelombang bunyi atau suara untuk mengganggu dan membingungkan manusia. Namun begitu, teori ini ditolak dan diketepikan kerana gelombang bunyi pada frekuensi di luar jangkauan pendengaran manusia tidak dapat menyebabkan gejala seperti gegaran otak. Mereka kemudiannya menganggap kejadian tersebut disebabkan oleh gelombang mikro.\nLaporan yang diterbitkan oleh National Academy of Sciences, Engineering and Medicine (NASEM) pada tahun 2020 menyimpulkan bahawa pancaran gelombang mikro dapat mengubah fungsi otak tanpa menyebabkan \u201ckerosakan struktur besar\u201c, menjelaskan gejala yang berlaku. Mungkin satu kebetulan, pada tahun 2019, laporan yang diterbitkan dalam Journal of the American Medical Association (JAMA), membuat kesimpulan yang sama.\nMenurut laporan NASEM, pihak Rusia menjalankan penyelidikan dengan teknologi gelombang mikro sejak tahun 1950-an. Soviet Union pernah \u201cmenyerang\u201d mereka di kedutaan Amerika Syarikat di Moscow. Walau bagaimanapun, pakar gelombang mikro yang lain bersikap lebih berhati-hati.\nKenneth Foster, seorang saintis menjelaskan kejadian tersebut dikaitkan dengan pautan gelombang mikro \u201cmenentang kredibiliti\u201c. Ada yang mengemukakan penjelasan ketiga, yang tidak dapat disangkalkan oleh panel NASEM dan JAMA, iaitu sindrom ini dikaitkan dengan penyakit psikogenik massa. Kejadian ini boleh berlaku apabila beberapa individu dalam kumpulan merasakan gejala yang sama, walaupun tidak ada kesan luaran.\nTekanan ekstrem hidup di bawah pengawasan selama 24 jam di Cuba, yang baru sahaja memulihkan hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat pada tahun 2015, mungkin menyumbang kepada sindrom ini. Walaupun hampir satu pertiga individu melaporkan kehilangan pendengaran dari serangan di Cuba, ujian standard mendapati bahawa kehilangan sebenarnya berlaku kepada dua orang pesakit daripada sejumlah 21 orang pesakit.\nDalam kalangan lingkungan ahli politik dan saintis, teori serangan terus tersebut memberikan kesan yang mendalam. Beberapa orang penasihat Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden mengatakan bahawa mereka percaya CIA akhirnya dapat mengesan sindrom Havana (yang disebut oleh pihak pentadbiran sebagai \u201cinsiden kesihatan yang tidak normal\u201c) dan menuduh Rusia sebagai dalangnya. Namun begitu, campur tangan politik mungkin akan menghalang fakta saintifik. Tidak kira sama ada sindrom itu disebabkan oleh senjata rahsia, atau bersifat psikogenik, gejalanya nyata dan sering menyakitkan penderitanya.\n\u00a0\nAzizi Ahmad ialah mantan pendidik." "Kemandirian Alam Menerusi Layar Liar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRakyat Malaysia pelbagai golongan kini boleh mengakses maklumat tentang hidupan liar Malaysia, alam semula jadi dan individu yang melindungi haiwan liar melalui Layar Liar.\nLayar Liar ialah siri dokumentari secara dalam talian sebanyak 52 episod dalam bahasa Melayu. Siri dokumentari yang dipaparkan bertujuan mendidik dan memupuk kesedaran serta rasa cinta akan kekayaan khazanah alam semula jadi dalam kalangan masyarakat.\nAlam semula jadi yang terancam secara tidak langsung meningkatkan risiko kepupusan spesies fauna, justeru pendidikan dan kesedaran tentang peri pentingnya kita melestarikan ekosistem yang baik dan seimbang demi kemandirian biodiversiti negara kita yang kaya dan berharga.\nOrang ramai juga boleh mengIkuti aktiviti seharian Dr. Zubaidah, pegawai veterinar di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan yang mencurahkan bakti merawat pelbagai haiwan liar yang cedera akibat jerat dan aktiviti manusia yang tidak bertanggungjawab melalui pautan laman web, Facebook, YouTube, Instagram, TikTok Layar Liar.\n(Sumber: Layar Liar)" "YMMRC Bantu Program Vaksinasi dan Bank Makanan Bergerak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Demi menyahut Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk mempercepat proses vaksinasi COVID-19, sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Malaysian Confucius Home, Pergerakan Muda Malaysia (Cawangan Jalan Raja Chulan) atau lebih dikenali sebagai Young Malaysian Movement Jalan Raja Chulan (YMMRC), mengambil bahagian dalam Program Vaksinasi Bergerak [email\u00a0protected].\nYMMRC mendapat sokongan daripada perusahaan tempatan, Yayasan CNI dan BONIA bagi menjayakan program vaksinasi bergerak ini. IKON Connaught, Cheras menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pada 24 Julai 2021 (dos pertama) dan 14 Ogos 2021 (dos kedua). Sebanyak 1492 orang awam menerima dua dos suntikan vaksin Sinovac dari pukul 8.30 pagi hingga pukul 6.00 petang dalam tempoh tersebut.\nMenurut Pengerusi YMMRC, Ang Soong King (Jeff), kes positif COVID-19 yang kian meningkat setiap hari turut menyumbang kepada pertambahan kluster baharu. Walau bagaimanapun, YMMRC yang memegang prinsip menyumbang kepada negara menganggap perkembangan semasa pandemik ini tidak menjejaskan peranannya untuk menyumbang tenaga bersama-sama barisan hadapan berjuang memerangi COVID-19.\nProgram vaksinasi bergerak ini melibatkan sukarelawan daripada YMMRC dan sebahagian sukarelawan dari YMM Segambut, YMM Kepong, YMM Taman Bukit Raya, dan YMM Taman Pertama yang menjadi petugas dalam program tersebut. Program ini bukan sahaja berupaya mengeratkan hubungan ahli cawangan YMM, malah meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah.\nYMMRC juga mengadakan bank makanan bergerak dengan memberikan bantuan kepada Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Hospital Selayang yang kini berfungsi sebagai hospital COVID-19 sepenuhnya. YMMRC sangat mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai agar dapat bersama-sama menyalurkan bantuan kepada keluarga dan masyarakat yang terjejas secara meluas.\nSebarang pertanyaan lanjut atau sumbangan, boleh layari laman sosial YMMRC di sini atau menghubungi urus setianya, Nicole melalui talian 013-2136595 atau e-mel [email\u00a0protected]." "Harga Maksimum Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Permintaan terhadap kit ujian pantas antigen COVID-19 dijangka meningkat susulan kesedaran orang ramai untuk membuat ujian kendiri bagi memastikan diri bebas daripada wabak COVID-19. Oleh hal yang demikian, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bekerjasama dalam melaksanakan penentuan harga borong dan runcit bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 tersebut.\nKit ujian pantas antigen COVID-19 yang akan dikawal merupakan peranti yang diluluskan secara bersyarat oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), KKM bagi pengesanan antigen yang menyebabkan virus COVID-19 dengan menggunakan sampel bendalir mulut atau swab hidung.\nSebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup yang kian meningkat pada masa ini dan sebagai tanda sokongan dalam menangani wabak COVID-19, KPDNHEP akan membuat kawalan harga borong dan runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 yang akan berkuat kuasa pada 5 September 2021 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.\nPenentuan harga maksimum borong dan runcit kit ujian pantas antigen COVID-19 ini dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan yang lebih berkesan untuk memastikan harga yang berpatutan dan keberadaan bekalan dalam pasaran bagi manfaat pengguna dan peniaga.\nTindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan ini. Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Individu boleh didenda oleh mahkamah hingga RM100 000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun hingga RM50 000.00. Bagi syarikat pula, boleh didenda hingga RM500 000.00 atau dikompaun hingga RM250 000.00.\nPengguna boleh menyalurkan aduan kepada KPDNHEP jika mendapati peniaga tidak mematuhi undang-undang ini. Pelbagai medium penyaluran aduan disediakan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan dengan isu harga. KPDNHEP turut mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat dalam usaha menangani aduan rakyat dengan lebih berkesan.\n(Sumber: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Kementerian Kesihatan Malaysia)" "Memacu Ekonomi Malaysia Melalui Kecerdasan Buatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBerdasarkan rangka tindakan 4IR Perindustrian ke-4 (4IR) dan MyDIGITAL, kerajaan berhasrat meningkatkan produktiviti di Malaysia sebanyak 30% di semua sektor pada tahun 2030, berbanding dengan pada tahun 2020 dengan menjadikan kecerdasan buatan sebagai penggerak kritikal.\nMenurut McKinsey Global Institute, 50% masa kerja di Malaysia dihabiskan untuk aktiviti berulang yang sangat automatik. Kecerdasan buatan dapat mengautomasikan tugas rutin, meningkatkan kemampuan pekerja dan meluangkan masa untuk menumpukan perhatian pada pekerjaan yang lebih menarik dan bernilai tambah. Dengan peningkatan automasi, kecerdasan buatan berpotensi mewujudkan sebanyak enam juta pekerjaan baharu menjelang tahun 2030 di Malaysia. Masa depan pekerjaan ini akan mewujudkan keperluan baharu untuk kemahiran dan pembelajaran jangka panjang di hampir setiap bahagian tenaga kerja.\nKecerdasan buatan yang berjaya, disokong oleh ekosistem data terbuka yang sihat yang berdasarkan tujuan. Bagi tujuan ini, Microsoft Malaysia bekerjasama dengan kerajaan untuk mengembangkan Model AI Innovation Ecosystem (AI-IE), menerapkan pendekatan heliks sebanyak empat kali ganda bagi memupuk penyertaan dan kerjasama.\n Ekonomi digital ialah hasil 4IR daripada penerimagunaan teknologi digital yang meluas. Menurut World Economic Forum, 4IR melibatkan penggabungan pelbagai teknologi yang menyatukan domain fizikal, digital dan biologi. 4IR turut membawa perubahan ketara dalam ekonomi, sama seperti revolusi perindustrian sebelum ini.\nPerubahan yang berlaku pada masa ini adalah sangat pantas, yang tidak pernah berlaku dalam sejarah. Hal ini juga memberikan kesan kepada hampir semua industri di dunia dan mentransformasikan kaedah pengeluaran, pengurusan dan pentadbiran. Lonjakan penerimagunaan teknologi digital daripada 4IR dan pengintegrasian data akan mempercepat pertumbuhan ekonomi digital.\nMyDIGITAL pula ialah satu inisiatif yang melambangkan aspirasi kerajaan mentransformasikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan pendigitalan dan sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital. Rangka Tindak (blueprint) Ekonomi Digital Malaysia menggariskan usaha dan inisiatif dalam mencapai aspirasi MyDIGITAL.\nRangka tindak ini menetapkan trajektori sumbangan ekonomi digital kepada ekonomi Malaysia dan membina asas untuk memacu pendigitalan di seluruh negara, termasuklah merapatkan jurang digital.\n\u00a0\n(Sumber: Dipetik dan diolah daripada Malaysiakini dan pautan: https://www.malaysia.gov.my/)" "Empat Wanita Malaysia Menang Biasiswa Women in STEM British Council\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Empat orang wanita Malaysia memenangi biasiswa British Council Women in STEM. British Council, organisasi antarabangsa United Kingdom (UK) dalam hubungan budaya dan peluang pendidikan, mengumumkan pemenang program biasiswa Wanita dalam STEM global.\nEmpat orang pemenang biasiswa ini akan berangkat ke UK pada musim luruh tahun 2021 ini untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat sarjana dalam subjek STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik).\nEmpat orang penerima biasiswa tersebut ialah Debbie Ann Loh \u2013 MSc Kesihatan Awam Antarabangsa di Liverpool John Moores University, Jaiswarry Sundaram \u2013 Bioteknologi Industri MSc di Liverpool John Moores University, Nurimanina Najwa Shahrin \u2013 MSc Aquatic Pathobiology di University of Stirling, dan Ilyana Hassya Azmannizam \u2013 Masa Depan Bumi MSc: Persekitaran, Komuniti, Hubungan di University of Glasgow.\nProgram biasiswa pascasiswazah yang dibiayai sepenuhnya, dilancarkan secara global oleh British Council dengan kerjasama 19 buah universiti di UK, bertujuan memberikan manfaat kepada wanita dari Asia Selatan, Asia Tenggara dan Amerika Syarikat yang berhasrat untuk mengikuti kursus STEM yang terkenal di UK, tetapi kurang sumber kewangan.Biasiswa ini diberi kepada wanita dengan latar belakang STEM, yang dapat membantu mereka dari segi kewangan. Pemberian biasiswa ini juga menjadi inspirasi kepada generasi wanita masa depan untuk melanjutkan kerjaya dalam bidang STEM.\n\u201cKami gembira dapat menyokong pengembangan kerjaya wanita dalam bidang sains melalui biasiswa ini, yang menyokong kerjasama dan pertukaran pendidikan yang lebih erat antara UK dengan Malaysia. Kami sangat berharap bahawa kemenangan mereka akan menjadi momen penting dalam karier para wanita ini, dan membuka banyak peluang pada masa depan. Kami juga percaya bahawa wanita ini akan menjadi tauladan kepada generasi saintis wanita g akan datang,\u201d kata Jazreel Goh, Pengarah Malaysia, British Council.\nLima belas biasiswa ini diberi kepada wanita di seluruh Asia Timur, iaitu dari Indonesia, Malaysia, negara Thai dan Vietnam. Penerima Nurimanina Najwa Shahrin yang akan belajar Patobiologi Akuatik di University of Stirling berkata, \u201cTerlalu banyak gadis dan wanita di Malaysia terhalang kerana bias, norma sosial dan harapan yang dipengaruhi oleh stereotaip gender. Mereka kurang diberi perhatian dalam pendidikan dan kerjaya STEM. Saya ingin memotivasikan para wanita tanpa mengira bangsa atau agama, untuk meneroka bidang yang biasanya dikuasai oleh lelaki.\u201d\nPenerima biasiswa diperoleh setelah melalui proses tapisan yang ketat bersama-sama ribuan pemohon untuk menerima tawaran belajar yang dibiayai sepenuhnya oleh sebuah universiti bertaraf dunia di UK yang merupakan antara peneraju dunia dalam mata pelajaran STEM.\nPenerima biasiswa akan memperoleh bantuan kewangan yang lengkap, termasuklah yuran pengajian, gaji, kos perjalanan, visa, dan kos perlindungan kesihatan disediakan oleh biasiswa, dengan sokongan khas untuk ibu dan bagi mereka yang memerlukan latihan bahasa Inggeris. Sebilangan besar penerima biasiswa akan menempuh cita-cita akademik mereka dalam bidang STEM di universiti UK buat pertama kalinya.\nProgram biasiswa ini bertujuan untuk meningkatkan peluang dalam bidang STEM untuk kanak-kanak perempuan dan wanita. Menurut data dari Organisasi Pendidikan dan Kebudayaan Ilmiah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), kurang daripada 30% penyelidik di seluruh dunia terdiri daripada wanita, dan hanya 30% pelajar perempuan memilih bidang yang berkaitan dengan STEM dalam pendidikan tinggi.\nNurimanina Najwa Shahrin yang akan belajar Patobiologi Akuatik di University of Stirling berkata, \u201cTerlalu banyak wanita di Malaysia terhalang kerana bias, norma sosial dan harapan yang dipengaruhi oleh stereotaip gender. Mereka kurang diberi perhatian dalam pendidikan dan kerjaya STEM. Saya ingin memotivasikan wanita, tanpa mengira bangsa atau agama, untuk meneroka bidang yang biasanya dikuasai oleh lelaki.\u201d\n\u201cBakat ada di mana-mana, seseorang itu hanya memerlukan peluang. Saya sangat berterima kasih kepada British Council kerana membuka pintu ini kepada saya. Saya berharap dapat memberikan inspirasi kepada wanita Malaysia untuk meneruskan cita-cita, semangat dan impak mereka dengan berani melalui STEM, \u201c kata Debbie Ann Loh yang mengikuti Master dalam Kesihatan Awam Antarabangsa di Liverpool John Moores University.\nPusingan kedua Program Biasiswa Wanita dalam STEM 2021\u20132022 akan diteruskan. Peluang akan tersedia untuk pelajar dari lapan buah negara, antaranya termasuklah Laos, Kemboja, Myanmar, Vietnam, negara Thai, Indonesia, Malaysia, dan Filipina. Maklumat lebih lanjut untuk calon berpotensi akan tersedia di laman web British Council tidak lama lagi." "Oregano Cuba (landskap edibel)\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nOleh:\u00a0 Mohd Mahadhir Mohd Noordin\nDikenali juga sebagai pudina Mexico, taim Sepanyol, borej India, oregano Caribbean, dan taim Broadleaf. Nama botaninya ialah Coleus amboinicus. Merupakan tanaman saka semi-sukulen daripada keluarga Lamiaceae.\nDaunnya hijau, \u201cbergigi\u201d dan tebal seperti baldu; mengeluarkan aroma kesturi dan sengit; rasanya seperti oregano Itali, digunakan dalam masakan Itali dan Mediteranean. \nTumbuhan antiradang ini kaya dengan vitamin C, vitamin A dan omega-6 yang berfungsi merawat pernafasan; radang kerongkong; reumatisme; sembelit; kembung, dan merangsang perembesan laktasi.\nLokasi:\u00a0 Sungai Tangkas, Kajang.\n(Sumber: Dewan Kosmik, April 2021)" "Kesan Perubahan Iklim: Bersediakah Kita?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nOleh: Safinah Saupi\nBerdasarkan laporan Jabatan Meteorologi, cuaca paling panas di Malaysia direkodkan pada tahun 2016 dan 1998. Pada tahun 2016, cuaca panas tertinggi direkodkan di Alor Setar, Kedah dan Chuping, Perlis dengan suhu 38.5 \u2070C. Pada tahun 1998, suhu tertinggi, iaitu 40.1\u2070C direkodkan di Chuping Perlis. Purata suhu di Malaysia juga semakin meningkat daripada 0.13\u2070C kepada 0.24\u2070C setiap 10 tahun, iaitu antara tahun 1969 dengan 2014. Aliran kepanasan jangka panjang dan kritikal ini dijangka berterusan pada tahun akan datang jika gesaan kepada dunia untuk menghadkan peningkatan suhu kepada 1.5 \u2070C tidak dipedulikan oleh dunia.\nLaporan terbaharu Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) mendedahkan bahawa pemanasan global akan mencapai 1.5\u2070C antara tahun 2030 dan tahun 2052 jika pelepasan karbon dioksida terus meningkat pada kadar semasa. Sesetengah penyelidik meramalkan bahawa paras 1.5\u2070C akan dicapai lebih daripada yang dijangkakan.\nPenyelidik dari Central Climate (sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan yang berpangkalan di Amerika Syarikat) meramalkan dalam tiga dekad akan datang, beratus juta penduduk di seluruh dunia berisiko kehilangan rumah mereka disebabkan seluruh kota akan tenggelam di bawah kenaikan paras laut. Menurut laporan itu lagi, paras laut global dijangka meningkat antara dua kaki hingga tujuh kaki (antara 0.6 meter hingga 2.1 meter). Pada abad ke-21, paras laut global berkemungkinan akan meningkat.\nAsia merupakan sebuah wilayah yang paling mudah terjejas akibat kenaikan paras air laut. Tanpa pertahanan lautan yang mencukupi, seluruh kota persisir pantai akan lenyap di beberapa buah tempat. Dilaporkan bahawa kira-kira 70% penduduk berisiko menghadapi banjir setiap tahun dan kekal digenangi air di lapan negara di Asia. Negara tersebut antaranya termasuklah China, Bangladesh, India, Vietnam, Indonesia, Thai, Filipina, dan Jepun.\nDalam hal ini, memilih produk menggunakan sumber air, tenaga dan bahan mentah yang sedikit untuk menghasilkannya adalah sangat penting. Contoh yang paling baik ialah penggunaan air. Kira-kira 15 415 liter air diperlukan untuk menghasilkan satu kilogram daging. Memakan diet vegan boleh menjadi \u201csatu cara terbesar\u201d untuk mengurangkan kesan alam sekitar terhadap bumi ini.\n(Sumber: Dewan Kosmik, Mei 2021)" "Terjemahan Tesis dan Buku Tingkatkan Martabat Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBachok\u00a0\u00a0\u2013 Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato\u2019 Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan, Pro-Canselor Universiti Malaysia (UMK) Kelantan, menyeru ahli sarjana dan ilmuwan, khususnya di UMK menterjemahkan tesis atau buku masing-masing daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu sebagai usaha untuk memartabatkan bahasa rasmi negara di persada dunia.\nDalam titah ucapannya pada pagi tadi, ahli akademik serta cendekiawan berperanan dan bertanggungjawab untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, penulisan dan persuratan. Menurut beliau, usaha menterjemahkan buku tersebut merupakan tanggungjawab moral dalam mengimarahkan bahasa, sekali gus membina kehidupan bernegara.\nSaya yakin bahawa UMK dan DBP boleh bekerjasama dalam penerbitannya, sekali gus memastikan pelbagai bidang ilmu dalam bahasa Melayu yang bermanfaat kepada kemaslahatan ummah dapat diwariskan kepada dunia berbahasa Melayu, khususnya.\nBeliau berkata demikian dalam titah ucapannya sebelum majlis pelancaran buku yang melibatkan tiga penerbit, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Islam Kelantan (MAIK), yang berlangsung di ruang legar Auditorium Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu, UMK, Bachok, Kelantan.\nBuku\u00a0terbitan DBP\u00a0yang dilancarkan ialah Pasak Citra (4 jilid), Nik Mohd Mohyideen Wan Musa: Perintis Pendidikan Islam di Malaysia, Kumpulan Puisi: Melorek Kenangan\u00a0dan Syair Adat Istiadat Kesultanan Melayu Kelantan. UMK menampilkan buku Serantaian Naratif Lisan di Lembangan\u00a0Sungai Pengkalan Datu, Kelantan\u00a0dan Wayang Kulit: Tok Dalang Che Ann. Selain itu, MAIK pula menampilkan empat buah buku terbitannya, iaitu Jati Diri Bangsa, Tokoh-tokoh Ulama\u2019 Semenanjung Melayu (2), Fathul Mu\u2019in\u00a0dan Buku Peringatan 150 Tahun Masjid Muhammadi.\nSementara itu, menurut YBhg. Dato\u2019 A Aziz Deraman yang telah menghasilkan tiga buah buku (Pasak Citra, Jati Diri Bangsa dan Kumpulan Puisi: Melorek Kenangan)\u00a0 yang dilancarkan hari ini menaruh harapan agar peminat buku pemikiran peradaban, penulis serta sasterawan, pendidik dan pelajar dapat menelaah buku-buku tersebut.\nBuku-buku ini membicarakan persoalan kedaulatan negara, bahasa, sastera, kebudayaan, pendidikan dan isu global. Di manakah letaknya jati diri bangsa Malaysia kini dan mengapakah bahasa, sastera dan budaya dikatakan menjadi pasak kepada pembinaan peradaban bangsa dan peranan Islam dalam zaman globalisasi ini? Semua persoalan ini dirungkaikan dalam buku ini untuk pemahaman dan penghayatan pembaca." "Aurora Cantik, tetapi Bahaya?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nOleh:\u00a0 Aznilinda Zainuddin dan Nornabilah Mohd Anuar\nSatu daripada fenomena alam yang sangat menarik ialah fenomena cahaya indah, aurora. Tarikan fenomena alam ini menarik minat ribuan pengunjung saban tahun untuk menyaksikan keindahan aurora. Sekiranya anda mengunjungi kawasan berhampiran dengan Kutub Utara atau Kutub Selatan, anda berpeluang melihat langit yang sangat indah, terang serta dipenuhi dengan cahaya yang berwarna-warni pada waktu malam.\nFenomena aurora dapat dilihat seawal bulan Ogos pada setiap tahun hingga bulan April berikutnya. Fenomena ini dapat dilihat dengan lebih jelas di kawasan yang gelap dan tidak terdedah kepada sumber cahaya (pencemaran cahaya) yang lain. Aurora dapat dilihat di atas ruangan kutub medan magnet bumi di hemisfera utara dan selatan. Borealis aurora boleh dilihat di Kutub Utara, Australis aurora pula boleh dilihat di Kutub Selatan.\nCahaya aurora muncul dalam pelbagai warna. Pada kebiasaannya, cahaya ini kelihatan berwarna hijau dan merah jambu, dan selebihnya adalah dalam tona warna merah, kuning, hijau, biru, dan ungu. Cahaya warna yang berbeza adalah disebabkan oleh jenis zarah gas yang berbeza-beza di ruang atmosfera.\nAurora merupakan zarah bercas dan beradiasi yang dihasilkan oleh matahari, berlanggar dengan zarah gas di ruang atmosfera bumi. Pembentukan aurora terjadi begitu tinggi di ruang\u00a0 atmosfera bumi, maka pembentukan ini tidak menimbulkan ancaman kepada manusia yang menontonnya dari bumi. Jarak aurora dengan permukaan bumi adalah di antara 100 km hingga 800 km.\nAurora yang merupakan zarah bercas boleh memberikan kesan negatif kepada infrastruktur dan teknologi. Zarah ini menghasilkan arus elektrik yang mengalir hingga ke tanah. Sekiranya arus elektrik yang mengalir adalah tinggi, yakni pada kebiasaannya disebabkan oleh ribut geomagnetik yang tinggi, keadaan ini boleh mempengaruhi saluran kuasa elektrik, saluran paip minyak dan gas, dan rangkaian komputer, serta komunikasi.\nSistem navigasi yang digunakan dalam sistem penerbangan, penggerudian, dan pertanian pintar yang menggunakan teknologi ketepatan Sistem Kedudukan Sejagat atau Global Positioning System (GPS) juga akan terjejas. Bagi mengatasi pelbagai kesan buruk akibat ribut geomagnetik, di sinilah letaknya keperluan dan kepentingan para saintis memantau aktiviti matahari dari semasa ke semasa untuk membuat persiapan, meramalkan dan mengurangkan risiko yang ada.\n(Sumber: Dewan Kosmik, Mac 2021)" "Bumi di Perihelion\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nOleh:\u00a0 Kassim Bahali\nBanyak orang yang mengetahui bahawa bumi mengelilingi matahari, tetapi tidak banyak orang yang menyedari bahawa pada tarikh tertentu, bumi berada pada titik terdekat dengan matahari semasa mengelilinginya. Antara tarikh 2 Januari hingga 5 Januari pada setiap tahun, bumi akan berada pada titik paling dekat dengan matahari.\nTitik paling dekat di antara bumi dengan matahari dinamakan sebagai perihelion. Perihelion merupakan titik terdekat suatu objek langit dengan matahari. Oleh itu, jika bumi berada di perihelion bererti bumi berada pada jarak paling dekat dengan matahari. Pada tahun 2021, bumi berada di perihelion pada 2 Januari.\nBumi berada di perihelion selepas dua minggu fenomena solstis musim sejuk pada 21 Disember. Fenomena solstis musim sejuk berlaku apabila matahari sampai di deklinasi minimum kerana pada tarikh tersebut hemisfera utara mengalami musim sejuk. Fenomena ini berlaku pada 21 Disember setiap tahun. Pada tarikh ini matahari akan berada tepat di garis latitud 23.5 darjah selatan yang dikenali sebagai Garisan Jadi kerana pada tarikh ini, matahari memasuki buruj Jadi. Negara yang berada di garisan ini, antaranya termasuklah Australia Utara, Chile, Brazil, dan Afrika Selatan.\nBumi bergerak mengorbit matahari dalam orbit yang bukan bulatan tepat, tetapi elip. Orbit elip berbentuk lonjong. Jika bulatan mempunyai satu titik tengah, elip pula mempunyai dua titik yang dipanggil \u201cfokus\u201d dan tidak mempunyai jejari yang sama. Oleh itu, jarak titik sepanjang lengkuk elip tidak sama. Ada titik yang jauh dan ada titik yang dekat dengan titik fokus. Keadaan ini sama seperti orbit bumi mengelilingi matahari. Bumi seperti satu titik dalam elip dan matahari berada di antara satu daripada titik fokus.\nBumi akan berada di titik yang paling dekat dengan matahari dan ada ketikanya berada jauh dari matahari. Titik bumi yang berada paling dekat dengan matahari dinamakan sebagai perihelion, manakala titik bumi yang paling jauh dengan matahari dinamakan sebagai aphelion. Dr. Kassim Bahali ialah Felow Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia.\n(Sumber: Dewan Kosmik, Januari 2021)" "GQDs dalam Industri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nOleh: Sheikh Ahmad Izaddin Sheikh Mohd Ghazali\nGraphene\u00a0 ialah sejenis bahan berstruktur dua dimensi dengan sp2 gabungan atom karbon yang disusun secara berulang dalam bentuk heksagon. Graphene mempunyai bentuk seakan-akan sarang lebah. Graphene ialah bahan yang ringan dan kuat. Graphene juga bersifat konduktor dan lutsinar.\nPerkembangan teknologi kajian semasa berupaya menghasilkan graphene sifar dimensi. Graphene Quantum Dots (GQDs) ialah kepingan kecil graphene dengan saiz lateral antara 1 nm hingga 100 nm. GQDs ialah struktur skala nano daripada graphene dengan satu atau lebih lapisan yang terdiri daripada kisi heksagonal seragam. Penghibridan karbon sp2 tergabung dengan gugusan fungsi heteroatom.\nGQDs mempunyai banyak kelebihan yang memberikan impak positif dalam aplikasi pelbagai industri. Terdapat beberapa industri berpotensi besar yang mengaplikasikan GQDs untuk dikomersialkan. Sebagai contohnya, industri perubatan, tenaga dan optik.\nIndustri perubatan\nGQDs digunakan dalam pengimejan biologi untuk mengesan kedudukan sel kanser dalam tubuh manusia. GQDs juga mampu mengesan sejauh mana ubatan sampai ke sel sasaran tersebut dan bertindak balas dengan tubuh manusia. Selain itu, sifat GQDs seperti karbon sp2 kaya dengan electron \u03c0 dan mempunyai pelbagai kumpulan berfungsi menjadikan GQDs berpotensi besar dalam proses penyampaian ubat dalam tubuh manusia.\nIndustri optik\nKeunikan sifat optikal pada GQDs mendorong para pengkaji menghasilkan pelbagai metode untuk meningkatkan prestasi fotopengesan dengan menggunakan GQDs. Fotopengesan merupakan sejenis sensor cahaya menggunakan tenaga elektromagnetik yang banyak digunakan sebagai alat pertahanan negara dan alat untuk meneroka angkasa lepas.\nIndustri berkaitan dengan tenaga\nSel solar antara fungsi yang diketengahkan menggunakan GQDs disebabkan oleh cirinya yang mempunyai sifat pendarfluor yang tinggi dan mampu menyerap sinar ultraungu dengan baik. Sel solar menukarkan cahaya matahari kepada elektrik dan membekalkan tenaga yang boleh diperbaharui.\nKesimpulannya, GQDs mempunyai sifat tersendiri dan membolehkannya digunakan secara meluas dalam pelbagai industri berpotensi besar. Oleh itu, para pengkaji masih lagi menyelidik pelbagai teknik untuk mengembangkan lagi penggunaan GQDs dan fungsinya.\nTs. Dr. Sheikh Ahmad Izaddin Sheikh Mohd Ghazali ialah pensyarah kanan di Pusat Pengajian Kimia dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Negeri Sembilan.\n(Sumber: Dewan Kosmik, Julai 2021)" "Remaja di Sarawak Divaksin Rabu Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Berikutan pencapaian imuniti kelompok golongan dewasa di Sarawak yang menerima vaksin telah mencapai ketetapan 80%, kini Sarawak sedang membuat persiapan akhir Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kepada golongan remaja berusia antara 12 tahun hingga 17 tahun yang akan bermula pada hari Rabu ini sebagai perlindungan daripada pandemik COVID-19.\nMenurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, persiapan yang dilakukan adalah sejajar dengan pengumuman Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin untuk memulakan pemberian vaksin kepada golongan remaja yang bermula di Sarawak.\nUggah juga memaklumkan bahawa setelah semua persediaan selesai dilakukan, perincian berkaitan dengan pelaksanaan PICK akan diumumkan. Pada masa yang sama, beliau berharap masyarakat yang layak menerima vaksin, tetapi masih enggan untuk divaksin agar segera membuat pendaftaran pengambilan vaksin.\nMenurut beliau, 6 November 2021 merupakan hari terakhir untuk mendapatkan suntikan dos pertama vaksin COVID-19. Oleh hal yang demikian, masyarakat boleh ke Pusat Pemberian Vaksin atau klinik kesihatan berdekatan tanpa perlu membuat janji temu untuk mendapatkan vaksin." "\u201cHappy Hypoxia\u201d Pesakit COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBerdasarkan hantaran melalui Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), \u201cHappy hypoxia\u201d ialah satu keadaan pesakit COVID-19 kategori 4 yang sepatutnya memerlukan bantuan oksigen, tetapi tidak menyedari bahawa mereka mempunyai kadar oksigen yang rendah dan hanya berasa lesu tanpa mengalami kesukaran bernafas.\nGolongan yang berisiko untuk mengalami fenomena ini ialah pesakit COVID-19 yang berada pada tahap yang teruk, terutamanya golongan yang berusia 40 tahun ke atas serta mempunyai komorbid. Antara gejala yang berkemungkinan menunjukkan oksigen yang rendah dalam darah ialah pesakit tersebut mengalami kelesuan yang teruk, berpeluh dengan banyak walaupun tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal dan warna bibir atau kulit menjadi kebiruan.\nPesakit COVID-19 yang menjalani kuarantin di rumah perlu ke hospital segera jika mengalami kesukaran bernafas atau mempunyai gejala yang berkaitan dengan happy hypoxia atau bacaan oksimeter nadi (pulse oximeter) menjadi rendah. Hubungi talian kecemasan (999) atau COVID-19 Assesment Centre (CAC) yang berdekatan.\nIndividu yang mempunyai oksimeter nadi, dinasihatkan agar membuat pemantauan kadar oksigen melalui pemeriksaan mengikut prosedur yang ditetapkan. Alat yang digunakan juga haruslah memenuhi standard perubatan. Tindakan ini merupakan satu daripada cara untuk memantau tahap oksigen kita.\nMaklumat terkini berkaitan dengan COVID-19 dan info kesihatan lain boleh didapati di Telegram rasmi KKM." "Wabak Polio di Malaysia Diisytihar Tamat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima perutusan rasmi pengisytiharan penamatan wabak polio di Malaysia daripada Pejabat Perwakilan Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau World Health Organization (WHO) semalam.\nMenurut Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin, pengisytiharan ini dibuat berdasarkan penilaian oleh pasukan penilai yang terdiri daripada panel pakar antarabangsa yang melaksanakan penilaian menyeluruh mengenai tindakan kawalan dan pencegahan wabak polio di Malaysia. Berdasarkan penilaian itu, usaha Malaysia mengawal dan mencegah wabak tersebut diiktiraf sebagai kejayaan menghentikan penularan wabak polio.\nPenyakit polio ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus polio yang menyerang sistem saraf manusia dan boleh menyebabkan kelumpuhan kekal sepanjang hayat. Selain itu, penyakit ini juga boleh menyebabkan kegagalan pernafasan dan membawa maut.\nPada penghujung tahun 2019, Malaysia dikejutkan dengan satu kes penyakit polio yang dikesan di Sabah. Susulan pengesahan kes polio tersebut, usaha pencegahan dan kawalan wabak polio giat dijalankan dan masih diteruskan walaupun negara sedang dilanda pandemik COVID-19.\nKKM mempertingkatkan usaha pengesanan kes polio menerusi survelan Acute Flaccid Paralysis (AFP) di seluruh negara. AFP ialah gejala akut menyerupai polio yang dipantau oleh KKM bagi mengesan kes polio. Aktiviti survelan ini melibatkan ujian pengesanan virus polio melalui sampel najis bagi setiap kes AFP dalam kalangan kanak-kanak yang berumur di bawah 15 tahun.\nKKM juga melakukan persampelan air kumbahan untuk mengesan kehadiran virus polio dalam persekitaran. Dari 1 Januari 2019 hingga 9 September 2021, sebanyak 1124 sampel air kumbahan diambil di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, virus polio dikesan dalam 25 sampel air kumbahan yang diambil di Sabah, dan satu sampel air kumbahan yang diambil di Wilayah Persekutuan Labuan. Sampel persekitaran positif virus polio yang terakhir dikesan adalah pada 1 Julai 2020.\nMenurut beliau, \u201cKempen lmunisasi Polio dilaksanakan secara berperingkat oleh KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri bagi menghentikan penularan virus polio dan mencegah kejadian kes polio. Kempen ini melibatkan pemberian vaksin oral polio atau Oral Polio Vaccine (OPV) kepada semua kanak-kanak berumur di bawah 13 tahun di seluruh negeri Sabah.\u201d\nlmunisasi polio melalui Program lmunisasi Kebangsaan (PIK) diteruskan di seluruh negara bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan optimum daripada jangkitan polio. Imunisasi polio diberi melalui suntikan vaksin lima serangkai (DTaP-IPV/Hib), yang mengandungi komponen antigen polio kepada kanak-kanak yang berumur dua tahun, tiga tahun, lima tahun, dan 18 bulan. Pada penghujung tahun 2020, berlaku sedikit perubahan dalam jadual PIK, yakni vaksin lima serangkai ini ditukarkan kepada vaksin enam serangkai (DTaP-IPV/HepB/Hib).\nSaya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua warga Kementerian Kesihatan Malaysia, terutamanya Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan. Mereka ialah wira barisan hadapan yang menjayakan usaha untuk menamatkan wabak polio walaupun pada masa yang sama turut berjuang untuk mengawal pandemlk COVID- 19.\nBeliau turut menyatakan penghargaan kepada badan antarabangsa, termasuklah WHO, United Nations Children\u2019s Fund (UNICEF) dan Global Polio Eradication Initiative (GPEI) yang bersama-sama membantu Malaysia mengawal penularan wabak polio di negara ini. Walau bagaimanapun, beliau berharap agar orang ramai terus berwaspada kerana masih terdapat negara di dunia yang belum bebas daripada jangkitan polio.\nKita perlu memastikan liputan imunisasi polio sentiasa tinggi bagi mengekalkan imuniti kelompok terhadap jangkitan polio, dan seterusnya Malaysia terhindar daripada ancaman wabak polio pada masa akan datang. Selain itu, KKM akan memastikan survelan AFP dan survelan persekitaran yang berkualiti akan terus dllaksanakan supaya sebarang kes polio dapat dikesan.\n(Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia)" "Gelembung Pelancongan Domestik: Jalani Ujian COVID-19 Sebelum Berlepas\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u00a0Kerajaan bersetuju untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung perjalanan dengan Langkawi dipilih sebagai projek rintis bermula 16 September 2021.\nAntara faktor yang dipertimbangkan dalam melaksanakan projek rintis Gelembung Pelancongan Langkawi ini, termasuklah liputan imunisasi lengkap penduduk dewasa di pulau tersebut yang telah mencapai 89.9 %, manakala 91.8% penduduk dewasa menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin dan kesediaan operator pelancongan untuk menerima kedatangan pelancong.\nProjek rintis ini perlu dilaksanakan dengan berhati-hati agar berjalan lancar dan tidak menyebabkan peningkatan kes serta kluster baharu. Oleh itu, kerajaan perlu memastikan setiap pelancong yang akan bercuti ke Langkawi telah menerima vaksinasi lengkap, bukan kes positif COVID-19 dan bukan kontak rapat kepada kes positif." "Kanser Limfoma Ancam Nyawa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHari Kesedaran Limfoma Sedunia disambut pada 15 September setiap tahun. Kanser limfoma merupakan kanser darah yang terjadi apabila sel limfosit, iaitu sel darah putih di kelenjar limfa membiak di luar kawalan. Gejala utama kanser limfoma ialah benjolan di leher, ketiak atau di pangkal leher. Gejala lain limfoma juga adalah seperti demam yang berpanjangan, hilang selera makan, hilang berat badan, ruam dan kegatalan kulit, keletihan, pembengkakan tonsil, dan berpeluh pada waktu malam.\nIndividu yang mempunyai sistem imun yang lemah, termasuklah pesakit autoimun, pesakit jangkitan virus seperti HIV dan Hepatitis C dan penerima organ berisiko tinggi untuk dijangkiti kanser limfoma. Namun begitu, keadaan pandemik COVID-19 pada masa ini telah menyebabkan orang ramai takut untuk berjumpa dengan doktor walaupun mengalami gejala tersebut. Hal ini menyebabkan banyak kes limfoma lewat dikesan. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya meningkatkan kesedaran terhadap penyakit ini kerana pengesanan awal dapat menyelamatkan nyawa masing-masing." "Bukit Bendera Bakal Terima Pengiktirafan UNESCO Sebagai Rizab Biosfera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGeorge Town \u2013 Pulau Pinang dijangka menerima pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) kedua dengan penyenaraian Bukit Bendera (Penang Hill) sebagai Rizab Biosfera UNESCO.\nPermohonan Pulau Pinang yang mengusulkan Bukit Bendera sebagai rizab biosfera baharu akan diputuskan pada hari ini dalam mesyuarat International Coordinating Council of Unesco\u2019s Man and the Biosphere Programme\n(MAB-ICC) \u00a0yang sedang berlangsung di Abuja, Nigeria dari 13 September 2021 hingga 17 September 2021.\nPerbadanan Bukit Bendera (Penang Hill Corporation (PHC)) dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow\u00a0Kon Yeow dijangka akan mengumumkan penamaan Unesco pagi esok dalam sidang media maya.\nBandar raya George Town, ibu negeri Pulau Pinang, dicatatkan sebagai tapak Warisan Dunia UNNESCO pada tahun 2008.\nPulau Pinang mengemukakan permohonan kepada UNESCO pada 30 September 2020 setelah\u00a0empat tahun kerjasama antara PHC dengan pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan, pertubuhan, Yayasan Habitat, agensi swasta, dan Pertubuhan Bukan Kerajaan.\nMalaysia kini mempunyai dua khazanah semula jadi yang menerima pengiktirafan antarabangsa tersebut, iaitu Tasik Chini di Pahang yang diwartakan pada tahun 2009 dan Banjaran Crocker di Sabah yang diwartakan pada tahun 2014.\nZon lingkungan terlibat untuk Rizab Biosfera Pulau Pinang berkeluasan 12 681 hektar dengan 7285 hektar meliputi kawasan daratan, dan 5196 hektar (25%) meliputi lautan atau marin. Zon ini termasuklah Bukit Bendera sebagai kawasan utama, diikuti Taman Negara Teluk Bahang, Taman Botani Pulau Pinang, enam buah hutan simpanan, termasuklah Hutan Simpan Laksamana dan dua buah empangan, iaitu Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam.\nRizab Biosfera didefinisikan oleh UNESCO sebagai lokasi yang terdiri daripada kawasan daratan dan marin atau gabungan setiap satunya diiktiraf secara berperingkat di bawah program UNESCO Man and The Biosphere (MAB) atau Program Manusia dan Biosfera.\nIdea untuk mencalonkan Bukit Bendera sebagai rizab biosfera UNESCO pertama kali dicetuskan pada tahun 2016 ketika program Bioblitz pertama diadakan di The Habitat Penang Hill (The Habitat) dengan penyelidik Universiti Sains Malaysia di atas bukit. \nMenurut UNESCO, beberapa ciri utama rizab biosfera merangkumi mencapai fungsi pemuliharaan yang saling berkaitan; pembangunan dan sokongan logistik; mengadakan skema pengezonan yang sesuai; memberikan tumpuan kepada pendekatan pelbagai pihak dengan memfokuskan penglibatan komuniti tempatan; mengintegrasikan kepelbagaian budaya dan biologi; menunjukkan amalan dan polisi pembangunan lestari yang mantap; dan bertindak sebagai tempat kecemerlangan pendidikan dan latihan." "Sebanyak 39 Pelajar Jurusan Kejuruteraan Tajaan Yayasan Pelajaran MARA ke Jepun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSepang \u2013 Sebanyak 39 orang pelajar tajaan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) di bawah program Malaysia Japan Higher Education (MJHEP) telah berlepas ke Jepun untuk menyambung pengajian pada peringkat ijazah sarjana muda selama dua tahun. Daripada 39 orang pelajar tersebut, sebanyak 19 orang pelajar akan mengikuti jurusan kejuruteraan elektrikal dan elektronik, manakala sebanyak 20 orang pelajar akan mengikuti jurusan kejuruteraan mekanikal di 13 buah universiti terpilih di seluruh Jepun.\nKesemua pelajar ini merupakan kumpulan kelapan, iaitu kumpulan terakhir bagi program MJHEP yang akan melanjutkan pengajian ke universiti di Jepun. Para pelajar menjalani kuarantin di Hotel Tanera, Bangi pada 12 September 2021 hingga 14 September 2021 dan selesai menjalani ujian COVID-19 sebelum berangkat ke Jepun.\nDi Jepun, para pelajar akan disambut oleh pihak Japan University Consortium for Transnational Education (JUCTe) dan akan diuruskan sepenuhnya oleh mereka tanpa pengiring dari Malaysia berikutan prosedur operasi standard yang perlu dipatuhi. Para pelajar perlu melakukan ujian COVID-19 dan Ujian Tuberkulosis (TB) mengikut keperluan yang telah digariskan oleh Ministry of Foreign Affairs, Jepun. Berikutan pandemik COVID-19, pengajian para pelajar yang dijangka tamat pada bulan Mac 2023 akan berakhir setahun lewat, iaitu pada bulan Mac 2024. Hal ini demikian kerana penerbangan ke Jepun pada akhir bulan Mac 2021 ditunda akibat pandemik ini.\nSesi pengajian semester 1 di Jepun akan bermula pada bulan April setiap tahun. Program MJHEP merupakan program Fasa Keempat di bawah Dasar Pandang ke Timur yang bermula pada tahun 2011 hingga tahun 2023. Sejak tahun 2011, program MJHEP berjaya melahirkan sebanyak 797 orang graduan yang terdiri daripada graduan pada peringkat ijazah sarjana muda (623 orang), ijazah sarjana (145 orang) dan ijazah kedoktoran (29 orang).\nPengerusi Eksekutif YPM, Dato\u2019 Dr. Mohd Nizar Haji Sudin menyampaikan amanat beliau kepada kesemua pelajar melalui taklimat pada 7 September 2021 secara dalam talian. Beliau berkata, \u201cAmbil peluang ini untuk belajar dan selami cara pemikiran masyarakat Jepun sehingga mereka menjadi sebuah negara yang gah dalam bidang teknologi\u201d. Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya dan berharap agar para pelajar akan terus cemerlang dalam pelajaran masing-masing." "Kamus Murut Tahol\u2013Melayu Dewan: Sebuah Perjuangan Melestarikan Bahasa Etnik Sabah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKemabong \u2013 \u201cHilang bahasa lenyaplah bangsa\u201d, demikianlah peribahasa yang diungkapkan oleh Yang Berhormat (YB) Datuk Rubin Balang, Pengerusi Induk Jawatankuasa Pembikinan Kamus Murut Tahol\u2013Melayu Dewan, selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Kemabong, dalam ucapan beliau semasa Majlis Pelancaran Pemasaran Kamus Murut Tahol\u2013Melayu Dewan, pada 26 Mac 2022, di daerah kecil Kemabong, Tenom, Sabah. Pada majlis yang sama, YB Datuk Rubin Balang telah menyempurnakan pelancaran kamus tersebut.\nMajlis yang berlangsung dengan meriah, penuh simbolik dan berwarna-warni dengan budaya etnik Murut Tahol turut dihadiri oleh Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang mewakili Ketua Pengarah DBP, Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah, Encik Zulfikar Yusof, Pengerusi Persatuan Warisan Budaya Murut Tahol Sabah (PEWARIS), Encik Rosdi James Emis Bambangan, Timbalan Pengerusi I Jawatankuasa Induk Pembikinan Kamus Murut Tahol\u2013Melayu Dewan, Pegawai Daerah Tenom, wakil-wakil Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri.\nMenyedari betapa pentingnya melestarikan bahasa etnik agar tidak pupus dan kekal relevan kepada generasi muda, DBP dengan kerjasama Persatuan Murut Tahol Sabah, Persatuan Murut Sabah (PMS), Pertubuhan Warisan Budaya Murut Tahol Sabah (PEWARIS) dan Pertubuhan Kebudayaan Kebajikan Murut Malaysia telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan Kamus Murut Tahol\u2013Melayu Dewan.\nPuan Fauzilahyatun Mustafa dalam ucapannya menyatakan bahawa usaha ini selaras dengan peranan DBP sebagai badan yang diberikan amanah memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan. DBP berperanan dalam mendokumentasikan pelbagai kamus berkaitan dengan bahasa etnik atau subetnik agar bahasa ini terakam menjadi rujukan para penggunanya. Penerbitan kamus ini merupakan antara usaha DBP untuk mendokumentasikan dan melestarikan bahasa-bahasa peribumi di Sabah.\nKamus Murut Tahol\u2013Melayu Dewan merupakan kamus etnik Murut Tahol pertama di negeri Sabah yang dihasilkan oleh DBP Cawangan Sabah. Kamus ini memuatkan 4150 entri dan subentri yang dilengkapkan dengan padanan dalam bahasa Melayu. Penerbitan kamus ini akan memberikan manfaat dan menjadi rujukan kepada para pengguna, khususnya kepada etnik Murut Tahol, kumpulan penyelidik serta pihak yang ingin mempelajarinya. Semoga kamus ini dapat dimanfaatkan oleh pengguna, para pengkaji dan pencinta bahasa Murut Tahol, terutamanya dalam kalangan generasi baharu yang penguasaan bahasa ibundanya sudah kian terhakis dan lebih membimbangkan kian pupus.\nYB Datuk Rubin Balang dalam ucapan menyatakan bahawa proses pembikinan kamus ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah, tambahan pula negara berada pada fasa pandemik COVID-19. Walau bagaimanapun, perjuangan dalam melestarikan bahasa Murut Tahol tercapai dengan terbitnya kamus yang menjadi wadah pemerkasaan bahasa Murut Tahol agar tidak pupus di dunia. Perkara ini amat membanggakan apabila kamus ini siap dan diterbitkan dalam tempoh yang singkat, iaitu dua tahun lapan bulan. Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang turut membantu dalam merealisasikan penerbitan Kamus Murut Tahol\u2013Melayu Dewan.\nMajlis diserikan lagi dengan tarian sambut tamu (Magunatip), persembahan nyanyian lagu oleh Puan Ivy Elchristtia Idin, Encik Eddy Andayol dan Encik Rosdi James Emis Bambangan, deklamasi puisi etnik oleh Encik Matussin Elloh dan deklamasi puisi oleh Encik Yus Amir Firza Muslimat. Yang turut diadakan ialah gimik pengusungan Kamus Murut Tahol\u2013Melayu Dewan yang diiringi oleh lagu rakyat etnik Murut Tahol. Pameran dan jualan Kamus Murut Tahol\u2013Melayu Dewan oleh pihak persatuan turut diadakan bagi memudahkan masyarakat Kemabong membeli kamus berkenaan.\nDalam ucapannya, YB Datuk Rubin Balang turut menyatakan hasrat bahawa Kamus Murut Tahol\u2013Melayu Dewan edisi kedua akan diusahakan penerbitannya; perbincangan dengan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menjadikan bahasa Murut Tahol diperkenalkan sebagai mata pelajaran sekolah dan diajar kepada pelajar sekolah; dan bekerjasama dengan pemimpin masyarakat untuk membantu subetnik Murut yang lain dalam pembikinan seterusnya penerbitan kamus.\nDalam Majlis Pelancaran Pemasaran Kamus Murut Tahol\u2013Melayu Dewan juga diadakan penyampaian penghargaan kepada 32 orang pendraf dan lapan orang pengesah yang terdiri daripada penutur dan penyelidik bahasa Murut Tahol. Pendraf dan pengesah Kamus Murut Tahol\u2013Melayu Dewan diketuai oleh YB Datuk Rubin Balang. Majlis Pelancaran Pemasaran Kamus Murut Tahol\u2013Melayu Dewan boleh disaksikan melalui pautan yang berikut: https://www.facebook.com/DBPMalaysia/videos/810433397015774/" "Bukit Bendera Diiktiraf Tapak Rizab Biosfera UNESCO\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bukit Bendera, Pulau Pinang (sumber berita pada 15 September, pukul 11.54 malam) diiktiraf sebagai tapak rizab biosfera Malaysia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).\nMenteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Takiyuddin Hassan berkata pengumuman itu dibuat pada 15 September 2021 dalam mesyuarat \u2018International Coordinating Council of the 33rd Session of the International Coordinating Council of the Man and the Biosphere Programme (ICC MAB).\nBeliau berkata pengiktirafan itu kejayaan buat Malaysia, amnya dan kerajaan negeri Pulau Pinang, khususnya dalam pengurusan kawasan berkepentingan biodiversiti di samping komitmen dalam melaksanakan pembangunan mampan.\n\u201cKementerian ini yakin bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang akan terus komited dalam menguruskan tapak rizab biosfera ini dengan baik dan berusaha mengekalkan status pengiktirafan ini pada masa akan datang demi melaksanakan fungsi-fungsi yang telah ditetapkan di bawah program MAB ini,\u201d katanya dalam kenyataan hari ini.\nTerdapat 20 spesies flora dan 550 spesies fauna di kawasan ini telah disenaraikan sebagai terancam dalam International Union for Conservation of Nature\u2019s Red List (IUCN Red List) seperti penyu, ikan lumba-lumba, tenggiling, kongkang, dan Penang Island Rock gecko.\nTahniah Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Malaysia! Hadiah Hari Malaysia yang ke 58 pada 16 September 2021 yang cukup bermakna.\n(Sumber berita dan gambar: Bernama)" "Kajian Klinikal Vaksin Kolera Hujung Tahun 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Malaysia dijangka akan melaksanakan fasa ujian klinikal bagi vaksin kolera atau taun pada hujung tahun ini menerusi pelan Pembangunan Vaksin Negara.\nMenteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Adham Baba (gambar) berkata vaksin itu akan dibangunkan hasil kerjasama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST).\n\u201cKita bertuah kerana negara kita ada kerangka dan persetujuan untuk membangunkan vaksin. Jadi, untuk pengeluaran vaksin, ia bukan sahaja untuk COVID-19 tetapi untuk penyakit lain bawaan vektor, udara dan sebagainya.\n\u201cApabila masuk ujian klinikal maknanya ada Fasa 1, 2 dan 3, jadi kejayaan menghasilkan vaksin untuk kolera akan kita lihat fasa klinikal pada hujung tahun ini.\n\u201c. dan ada vaksin lain seperti vektor psoriasis (penyakit kulit kronik) dan vaksin yang kita cuba, kita usahakan iaitu vaksin polio dan denggi,\u201c katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Prapelancaran Penyelidikan dan Pembangunan Area 57 di Taman Teknologi Malaysia (TPM), hari ini.\nBagaimanapun, Adham berkata pembangunan vaksin itu memerlukan masa memandangkan tiada jalan pintas untuk menghasilkannya.\n\u201cVaksin yang sedia ada pun menggunakan kemajuan teknologi terkini dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) luluskan atas tiga dasar iaitu keberkesanan, selamat dan berkualiti.\n\u201cJadi kita melihat kepada perkongsian ini dan kita akan bangunkan dalam masa yang ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Vaksin Negara kita,\u201c katanya.\nMengenai program hari ini, beliau berkata Area 57 adalah sebuah pusat kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan serta pemerkasaan bakat yang dibangunkan oleh TPM bagi memajukan perkembangan industri berfokus inovasi Unmanned Aerial Vehicle (UAV) dan Unmanned Aircraft Systems (UAS).\nBeliau berkata Area 57 adalah simbolik kepada kawasan seluas lima ekar yang akan dijadikan infrastruktur bersepadu dan sandbox dengan penyediaan tujuh nilai cadangan iaitu menyelidik, membangun, menguji, memperakui mengilang, mengkomersial dan menyelenggara penyelesaian dan teknologi dron.\n\u201cPusat Kecemerlangan Area 57 merupakan salah satu tambahan di bawah penyeliaan Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) yang mempunyai tiga lapangan ujian lain di Felda Mempaga Pahang, Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ Iskandar) dan dron penghantaran urban di Cyberjaya.\n\u201cDi wilayah tengah Malaysia, Area 57 merupakan pusat sehenti yang pertama untuk inovasi Sistem Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV dan UAS),\u201c katanya.\nSementara itu, Technology Park Malaysia (TPM) dalam kenyataan berkata melalui Area 57, perkhidmatan melalui dron dapat diperluas dan ditingkatkan dalam pelbagai sektor seperti e-dagang, logistik penghantaran bekalan penting atau perubatan ke kawasan luar bandar, terpencil, atau yang terjejas oleh bencana alam.\nSelain itu, ia juga dapat membantu penyelenggaraan bangunan pintar, bandar pintar atau maritim selain pertanian bandar.\nMenurut kenyataan itu, TPM akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain untuk mempermudahkan perkembangan industri dron dari segi pensijilan, kelulusan frekuensi, kelulusan kamera, serta kelulusan keselamatan pengendalian dron di Area 57.\nKerjasama tersebut antara lain melibatkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) SIRIM Bhd., Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Jabatan Alam Sekitar, dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia.\n(Sumber berita dan gambar: Bernama)" "Perasmian Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Pusat Laktasi Kebangsaan 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSelain itu, sambutan kali ini juga mengutamakan proses penyusuan susu ibu yang mesti dilakukan ketika pandemik COVID-19. Hal ini demikian kerana penyusuan susu ibu akan memberikan nutrisi penting yang lengkap untuk bayi.\n\u201cPendekatan ini diyakini dapat menjamin kelestarian generasi negara pada masa akan datang serta bagi memastikan amalan penyusuan ibu sentiasa disokong dan diperkukuh dari semua peringkat,\u201c ujar beliau." "Demi Keselamatan Ibu dan Bayi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pandemik COVID-19 yang berlanjutan lebih dari dua tahun meningkatkan risiko kematian dalam kalangan wanita, terutamanya mereka yang hamil dan melahirkan anak. Hal ini disebabkan kekangan akses penjagaan pranatal dan postnatal, pengurangan lawatan oleh kakitangan kesihatan dan risiko wanita hamil yang lebih mudah dijangkiti virus ini.\nHari Keselamatan Pesakit Sedunia yang disambut pada 17 September 2021 memfokuskan\u00a0 penjagaan yang selamat bagi ibu dan bayi yang baharu lahir. Bagi mengurangkan risiko semasa kehamilan dan sewaktu kelahiran, wanita yang hamil dinasihatkan merancang kehamilan, berbincang dengan doktor tentang tahap kesihatan, menghadiri semua\u00a0 janji temu yang ditetapkan, dan memastikan kesihatan mental sentiasa dalam keadaan baik.\n(Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia)" "Seminar Falak Nusantara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSeminar Falak Nusantara (SARAS) merupakan wadah pencerahan tentang ilmu falak atau astronomi dan perkongsian idea mengenai kajian baharu dalam bidang falak atau astronomi. Penganjuran SARAS pertama yang diadakan dari 17 Oktober 2018 hingga 18 Oktober 2018 berjaya menarik minat banyak peserta. Seminar kedua yang sepatutnya diadakan pada tahun 2020 terpaksa ditunda berikutan pandemik Covid-19. Seminar berimpak yang melibatkan tenaga penceramah mahir dari dalam negara dan luar negara itu akhirnya berlangsung secara dalam talian dari 21 September 2021 hingga 22 September 2021.\n\nSARAS 2021 melalui aplikasi zoom dan di Facebook Southeast Asia-Regional Astronomy Seminar-SARAS dan Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) bertemakan \u201cIlmu Falak, Masyarakat dan Revolusi Industri 4.0\u201d. Seminar tersebut dirasmikan oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Haji Idris Haji Ahmad.\nObjektif seminar tersebut, antaranya termasuklah (i) memberikan pendedahan khusus kepada golongan sasaran mengenai teori dan aplikasi ilmu falak atau astronomi di nusantara; (ii) memberikan peluang kepada golongan sasaran untuk mendapatkan dimensi baru ilmu falak atau astronomi, khususnya di Nusantara dan (iii) membuka diskusi ilmiah dalam ilmu falak atau astronomi antara negara serantau. Antara subtema dalam seminar ialah astronomi Islam, astronomi cerapan, astronomi teori, astronomi komuniti, sejarah astronomi atau falak, dan astronomi budaya.\nSyarahan ulung seminar tersebut menampilkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan Malaysia, Orang Kaya Imam Paduka Tuan Perak, Dato\u2019 Dr. Afifi al-Akiti. Slot tersebut dipegerusikan oleh Pengarah Ukur Seksyen, Seksyen Graviti dan Falak, Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM), Sr Muhammad Daud bin Mahdzur diadakan pada hari pertama SARAS 2021 jam 2.20 petang.\nUcap utama SARAS 2021 disampaikan oleh Profesor Kehormat, Department of Fiqh and Usul, Universiti Malaya (UM), Profesor Dato\u2019 Dr. Mohd Zambri dengan tajuk \u201cPendidikan Astronomi di Era Semasa\u201d. Penolong Mufti Kanan, Ketua Bahagian Falak di Jabatan Mufti Selangor, Hardi Mohamad Sadali bertindak selaku moderator.\nAhli astrofizik dari Algeria yang merupakan professor di American Univesiti of Sharjah, UAE, iaitu Profesor Dr. Nidhal Guessoum. menyampaikan ucap utama kedua bertajuk \u201cIslamic Astronomy in The 21st Century\u201d, Slot ucap utama tersebut diadakan pada 22 September 2021. Moderator majlis tersebut ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr. Mohamaddin Abdul Niri.\nTerdapat lima pembentang utama dalam Saras 2021, iaitu (i) pensyarah Universiti Muhammadiyah Sumatera Utara, Indonesia, Dr. Awin Juli Rakhmadi dengan tajuk \u201cTipologi Kajian Ilmu Falak di Dunia Islam\u201d, (ii), pakar dalam bidang astronomi dari The National Astromonical Observatory of Japan (NAOJ), Dr. Kumiko Usuda-Soto dengan tajuk pembantangan beliau, \u201cMenikmati Alam Bersama Pelbagai Jenis Masyarakat: Astronomi Inklusif dan Sains Rakyat\u201d, (iii) Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan di JUPEM, Dato\u2019 Sr Dr. Azhari Mohamed dengan tajuk pembentangan beliau, \u201cMencari Latitud dan Longitud: Dari Bintang ke Satelit\u201d, (iv) pakar astronomi dari Gunma Astronomical Observatory, Japan, Dr. Osamu Hashimoto dengan tajuk \u201cAktiviti Saintifik dengan 150 sentimeter Teleskop di Balai Cerap Astronomi Gunma\u201d, dan (v) Pensyarah Kanan Program Astronomi Islam, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, UM, Dr. Mohd Hafiz Mohd Saadon dengan tajuk \u201cArkeologi Galaksi Melalui Bintang Halo\u201d.\nSelain ucap utama dan pembentangan utama, seminar dua hari tersebut diadakan secara selari dengan sesi pembentangan 18 buah kertas kerja oleh pakar dalam bidang ilmu falak dan astronomi. Seminar tersebut berupaya menambahkan ilmu dan memupuk minat masyarakat Malaysia, khususnya generasi muda berkaitan dengan bidang falak atau astronomi." "Remaja Vaksin Secara Walk-In Berjadual Hari Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBerdasarkan hantaran Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kaedah pemberian vaksin secara walk-in berjadual kepada remaja yang berumur antara 12 tahun hingga 17 tahun akan bermula pada hari ini, 23 September 2021.\nKaedah ini digunakan bagi mengelakkan risiko jangkitan COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Sebanyak 156 buah PPV, iaitu 142 buah PPV awam dan 14 buah PPV integrasi di seluruh negara akan menerima kehadiran para remaja untuk mendapatkan suntikan vaksin. Kaedah vaksinasi secara walk-in berjadual ini bukan bermaksud remaja bebas memilih mana-mana PPV bagi mendapatkan suntikan vaksin.\nMenurut Dato\u2019 Dr. Noor Azmi Ghazali, Timbalan Menteri Kesihatan I, kaedah walk-in berjadual ini dilaksanakan dengan kerjasama pihak sekolah selepas perbincangan bersama-sama pihak Pejabat Kesihatan Daerah yang menetapkan tarikh dan masa tertentu untuk seseorang pelajar itu ke PPV yang terdekat dengan lokasi sekolah.\nKata beliau lagi, pihak sekolah akan mengeluarkan jadual untuk memudahkan ibu bapa atau penjaga membawa remaja berkenaan mengambil vaksin secara walk-in mengikut masa, tarikh dan PPV yang telah ditetapkan.\nBeliau turut menyatakan bahawa Pasukan Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A) mensasarkan untuk memberikan vaksin lengkap kepada 3.2 juta remaja dalam tempoh tiga bulan ini atau sekurang-kurangnya 80% sebelum sesi persekolahan tahun 2022 dibuka. Kaedah walk-in berjadual ini adalah antara usaha untuk meningkatkan kapasiti pemberian vaksin.\nKaedah utama pemberian vaksin di bawah PICK-Remaja adalah melalui program jangkau luar di sekolah dan institusi secara berjadual dengan penglibatan KKM, pengamal perubatan swasta dan Badan Bukan Kerajaan kesihatan. Dato\u2019 Dr. Noor Azmi Ghazali juga berkata \u201cKami akan mengadakan program jangkau luar untuk remaja yang terlantar di rumah dan remaja di kawasan pedalaman.\u201d\n(Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia)" "Manfaat Senduduk dalam Perubatan Tradisional\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSenduduk atau nama saintifiknya Melastoma malabathricum L. ialah tumbuhan yang berasal daripada famili Melastomataceae. Senduduk merupakan pokok renek dan bercabang yang boleh mencapai hingga 3 meter. Daunnya yang hijau berbentuk elips yang semakin menirus ke arah hujung dan panjangnya boleh mencapai hingga 7 sentimeter (sm). Daunnya juga berbulu antara tiga urat hingga lima urat memanjang yang ketara dengan batang daunnya berwarna kemerahan. Bunganya bersaiz besar dan lebarnya boleh mencapai hingga 7 sm. Daunnya mempunyai lima helai kelopak berwarna ungu dan stamen berwarna kuning di hujung ranting.\nBuah senduduk dikelaskan sebagai buah beri. Apabila buah senduduk masak, buahnya akan terbuka lalu mendedahkan pulpa yang lembut, berwarna ungu, rasa yang kelat dan biji berwarna jingga. Bijinya tidak mempunyai rasa dan meninggalkan kesan berwarna hitam apabila dimakan, menyebabkan namanya dikenali sebagai melastoma (mulut hitam) dalam bahasa Yunani. Senduduk di Malaysia tumbuh di kawasan hutan gunung dan tanah rendah, terutamanya di kawasan lapang.\nTerdapat pelbagai manfaat senduduk yang dilaporkan dalam perubatan tradisional masyarakat Melayu, Indonesia, Bangladesh, dan India. Senduduk boleh mengubati pelbagai penyakit. Walau bagaimanapun, manfaatnya tidak disokong oleh data klinikal. Daun senduduk ditumbuk dan dijadikan pes lalu ditampal pada luka untuk menghentikan pendarahan. Daun senduduk juga dihiris dan diperah untuk mendapatkan jusnya bagi menghentikan pendarahan.\nJus senduduk pula digunakan sebagai diuretik. Daun senduduk boleh dimakan untuk merawat sakit gigi dan sebagai ubat selepas bersalin. Daun senduduk juga digunakan untuk merawat ulser, gastrik, buasir, demam, kesan parut cacar, jerawat, dan bintik hitam di kulit. Air rebusan atau jus daun senduduk diminum untuk mengubati disenteri dan cirit-birit. Anak daun senduduk juga boleh dimakan untuk merawat cirit-birit dan disenteri.\nSeterusnya, bunga senduduk pula digunakan dalam perubatan tradisional sebagai sedatif saraf untuk pendarahan semasa buasir. Manakala, di India, bunga senduduk digunakan untuk merawat barah. Seduhan bunga senduduk merupakan ramuan pilihan yang ditambahkan pada penawar untuk merawat anemia yang dikaitkan dengan pendarahan gastrousus dan sakit epigastrik.\nPucuk senduduk dimakan untuk mengubati jangkitan nifas, tekanan darah tinggi dan kencing manis. Jus senduduk boleh digunakan sebagai ubat kumur untuk melegakan sakit gigi atau merawat leukorea. Akar senduduk berfungsi sebagai ubat cuci mulut untuk melegakan sakit gigi atau merawat leukorea.\nSelain itu, pokok senduduk juga berupaya merawat sawan, mengurangkan reumatisme dan artritis. Senduduk juga membantu menyembuhkan dan menguatkan rahim wanita selepas bersalin. Jusnya digunakan untuk mengurangkan kesakitan kanak-kanak yang mengalami seriawan serta merawat leukorea dan penyakit kuning. Air rebusan akar senduduk dapat merawat cirit-birit dan leukorea.\nBeberapa bahagian pokok senduduk juga boleh digabungkan untuk merawat pelbagai penyakit. Daun dan bunga senduduk digabungkan untuk mengubat taun, cirit-birit kronik, demam berpanjangan, disenteri, leukorea, luka, dan penyakit kulit. Gabungan daun dan bunga senduduk juga berfungsi sebagai ubat kumur.\nAir rebusan akar dan daun senduduk digunakan untuk menguatkan rahim dan mempercepat penyembuhan luka, mengurangkan pendarahan haid berlebihan, senggugut, keputihan, sakit perut, dan meningkatkan kesuburan. Serbuk akar dan daun senduduk yang digabungkan diletakkan pada luka dan parut cacar untuk membantu proses penyembuhan atau digunakan untuk melegakan ketidakselesaan semasa buasir. Gabungan bunga, biji dan daun juga dapat mengurangkan keputihan dan ketidakhadaman. Daun dan kulit kayu senduduk pula digunakan untuk merawat leukorea, cirit-birit dan disenteri.\nBanyak kajian yang dijalankan untuk membuktikan keberkesanan pokok senduduk sebagai penawar pelbagai penyakit. Satu kajian ketoksikan akut dijalankan pada tahun 2009 oleh Sunilson et al. untuk menentukan tahap ketoksikan akut dalam ekstrak air daun senduduk. Ekstrak air daun senduduk diberikan kepada sampel tikus dalam dos 62.5 mg/kg, 125 mg/kg, 250 mg/kg, 500 mg/kg, 100 mg/kg, dan 2000 mg/kg. Simptom dan tanda umum ketoksikan, kemasukan air serta makanan dan kemortalan direkodkan selama 48 jam. Kajian ini menunjukkan sampel tikus tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda kelemahan dan kemortalan.\nKesimpulannya, senduduk merupakan tumbuhan aktif secara biologi dan popular sebagai ubat bagi pelbagai penyakit dalam perubatan tradisional. Walaupun terdapat pelbagai kegunaan senduduk dalam perubatan tradisional, kajian saintifik yang dijalankan untuk membuktikan keberkesanan tumbuhan ini agak terhad. Penyelidikan dan kajian tentang senduduk perlu ditingkatkan supaya potensi farmakologikalnya boleh dikaji secara menyeluruh, seterusnya membawa kepada pembangunan ubat baharu pada masa hadapan.\n(Sumber:\u00c2\u00a0Dewan Kosmik, Julai 2021)" "Konsert Global Citizen Live 2021 \u201cSuara\u201c Lindungi Bumi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada 25 September 2021, artis \u201cSenarai A\u201d dari seluruh dunia akan tampil membuat persembahan selama 24 jam dalam konsert Global Citizen Live dari pelbagai lokasi, antaranya termasuklah Lagos, Nigeria, Seoul, Champ de Mars (Paris), Los Angeles, Central Park (New York), Rio de Janeiro, Paris, London, Mumbai, Johannesburg, Madrid, Buenos Aires, dan Sydney.\nKonsert ini adalah sebahagian daripada kempen global 2021 Global Citizen, \u201cPelan Pemulihan untuk Dunia\u201d. Rancangan Pemulihan memberikan tumpuan kepada lima objektif utama, iaitu mengakhiri COVID-19 untuk semua, mengakhiri krisis kelaparan ( kemiskinan yang melampau, membantu 41 juta orang penduduk dunia yang berada di ambang kelaparan), menyambungkan semula pembelajaran untuk semua, melindungi planet ini (perubahan iklim), dan memajukan ekuiti untuk semua.\nMenurut Hugh Evans, Ketua Pegawai Eksekutif Global Citizen yang juga seorang dermawan, \u201cKami akan menjadi lebih besar daripada sebelumnya untuk mencerminkan skala dan keparahan krisis.\u201c Ini bukan perayaan, tetapi ini adalah saat perpaduan untuk mengumpulkan dunia, mengemukakan petisyen kepada pemimpin dunia, ketua pegawai eksekutif, dan dermawan untuk memberikan komitmen bagi penyelesaian yang hanya dapat dicapai oleh pemerintah dan hartawan.\u201c\nPemuzik dan penggiat industri telah menjadi sebahagian daripada kejayaan organisasi sejak konsert perdana pada tahun 2012, yang menangani pemimpin dunia di media sosial dan di belakang tabir untuk mendapatkan sumbangan.\nEvans percaya para artis terus kembali mengadakan persembahan pada setiap tahun untuk menyokong gerakan Global Citizen, dan tampil secara percuma, kerana mereka dapat melihat tindakan nyata itu terjadi.\nArtis terkenal, Usher menyatakan bahawa \u201cSelama satu dekad, organisasi global ini telah memberikan kesan langsung kepada perubahan. Apabila lampu menyala dan para pelakon telah meninggalkan pentas, Global Citizen meneruskan kerjanya, hari demi hari, untuk membasmikan kemiskinan dan melindungi planet kita.\u201d\nMenurut Evans, \u201cArtis ialah aktivis. Platform mereka kebetulan jauh lebih besar daripada milik anda atau milik saya. Ini semua mengenai mobilisasi, jadi pihak yang berminat didorong untuk mendaftar di laman web Global Citizen dan menyokong tindakan Pertubuhan Bukan Kerajaan ini menandatangani petisyen atau berkongsi mesej di rangkaian sosial.\nPada tahun ini, hampir 20 000 orang penonton dijangka berada di Champ-de-Mars, Paris. Semua tiket percuma telah diedarkan. Tidak seperti kebanyakan konsert, Global Citizen Live tidak meminta wang tunai daripada peminat. Konsert ini mahu memperlihatkan suara dan kesedaran melalui media sosial, petisyen dan secara peribadi sebagai bukti kepada pemimpin dunia tentang sokongan terhadap isu dan krisis dunia kini. Sebagai contohnya, 150 juta orang di seluruh dunia berada dalam kemiskinan yang melampau.\u201c\n\nOrang ramai yang berminat boleh bergabung dengan memuat turun aplikasi Global Citizen\u00a0atau melayari laman web \u00a0Global Citizen dan mendaftar untuk menjadi Warganegara Global. Setelah anda bergabung dengan Global Citizen, anda boleh mula mengambil tindakan seperti menandatangani petisyen, berkongsi mesej di media sosial, menulis surat dan e-mel kepada wakil politik, dan banyak lagi.\u00a0\nSenarai artis terkenal yang akan beraksi dalam konsert Global Citizen Live:" "Kelawar Tewaskan COVID-19?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMenurut kajian baharu, kelawar mungkin boleh menewaskan COVID-19. Mamalia ini dikatakan mempunyai kekebalan yang luar biasa, yang melindungi mereka daripada virus maut ini.\nPara saintis di Australia berpendapat bahawa seandainya rahsia kejayaan kelawar yang\u00a0 bebas daripada jangkitan COVID-19 diperoleh, hal ini \u00a0akan memberikan harapan kepada kita tentang penawar virus tersebut. Penyelidik menyatakan bahawa kelawar turut dijangkati COVID, tetapi tidak jatuh sakit.\nProfesor Marcel Nold dari Universiti Monash dalam siaran media menyatakan bahawa \u201cMencegah perkembangan penyakit yang teruk, atau mengubatinya dengan berkesan, dengan kata lain, meniru cara kelawar, akan melegakan penderitaan dan menyelamatkan nyawa.\u201c\nKelawar turut dijangkiti dengan SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan COVID-19, tetapi jangkitan tersebut tidak menimbulkan gejala pada paru-paru atau organ lain walaupun virus yang sama memberikan kesan buruk kepada manusia. Kesan rintangan ini mungkin dapat digunakan untuk menyempurnakan tindak balas imun yang sama pada manusia. Hal ini termasuklah meningkatkan protein melawan virus yang dikenali sebagai tindak balas interferon jenis I dan III. Sebaik sahaja virus ini berkembang, bahan kimia keradangan yang disebut inflammasome dapat disekat, meniru apa-apa yang berlaku pada kelawar.\nMenurut Profesor Nold, \u201cKeadaan ini dapat meminimumkan keradangan yang berlebihan, keletihan kekebalan tubuh, dan radang sitokin yang dialami oleh manusia.\u201c Ada sesetengah orang yang percaya bahawa COVID-19 sebenarnya berasal daripada kelawar, yang dipindahkan kepada manusia melalui binatang lain, yang belum dikenali. Penyakit lain, termasuklah SARS, MERS dan Ebola juga dianggap menyerang manusia dengan cara ini. Walau bagaimanapun, ahli ekologi dan ahli konservasi turut mengingatkan orang ramai bahawa kelawar tidak boleh dianiaya atas alasan tersebut.\n\nKelawar penting untuk keseimbangan alam. Kebanyakan kelawar ialah agen pendebungaan serta \u00a0penyebaran biji benih dan insektivora yang memakan berjuta-juta tan serangga setiap malam.\nPengetahuan tentang genom kelawar akan membantu menjelaskan cara haiwan itu menanglis jangkitan koronavirus yang pada masa akan datang dapat membantu manusia memerangi virus ini." "Khasiat Kacang Telang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKacang telang atau Clitoria ternatea ialah sejenis herba pepanjat yang mempunyai batang yang liat dan akar berkayu. Daunnya jenis majmuk yang mempunyai lebih kurang lima helai hingga tujuh helai anak daun berbentuk elips dan tersusun secara berselang.\nBunga kacang telang berwarna biru dengan bahagian tengahnya putih atau kekuningan. Terdapat juga varieti yang berbunga putih. Buahnya berbentuk lenggai atau pod yang leper dan mengandungi antara enam biji hingga 10 biji yang berwarna hitam atau perang. Herba ini lazimnya dijumpai di tanah pamah dan kawasan tanah tinggi 1500 meter di atas aras laut.\nPada kebiasaannya, kacang telang ditanam menggunakan biji benih di tanah yang bersaliran baik dan mendapat cahaya matahari yang banyak. Kacang telang juga sesuai dijadikan tanaman hiasan di taman bunga dan di halaman rumah kerana warna biru bunganya yang menarik. Pokok ini selalunya akan berbunga selepas empat bulan ditanam dan akan menghasilkan bunga sepanjang tahun.\nKegunaan dalam Perubatan Tradisional\nBahagian akar kacang telang dan daunnya digunakan untuk tujuan perubatan bahagian urogenital, membuang parasit seperti cacing dalam badan dan sebagai penawar sengat haiwan berbisa. Bahagian bunga, batang dan akar pokok kacang telang dicampurkan untuk merawat gigitan ular atau sengatan jengking.\nSementara itu, dalam ilmu perubatan tradisional Melayu, air daun dan lenggai kacang telang diminum dan digunakan untuk membasuh muka. Rawatan ini dipercayai dapat menjaga kesihatan mata. Lenggai yang muda boleh dibuat sayur. Walau bagaimanapun, lenggai yang tua tidak boleh dimakan kerana mengandungi racun.\nKajian Saintifik\nDalam satu kajian terhadap sel barah paru-paru A549, sejenis sebatian kimia semula jadi, iaitu siklotida yang dipencilkan daripada bahagian bunga dan biji kacang telang diuji terhadap sel A549 secara in-vitro. Para penyelidik mendapati bahawa siklotida yang diuji dapat menghalang pertumbuhan sel barah tersebut.\nDalam kajian makmal awalan yang menggunakan haiwan pula, ekstrak metanol bahagian akar kacang telang ditemui mempunyai kesan antiradang dan dapat mengurangkan keadaan bengkak pada anggota haiwan.\nSeterusnya, dalam kajian yang berasingan, ekstrak etanol daripada bahagian daun muda menunjukkan kesan antipiretik, iaitu keupayaan untuk menurunkan suhu badan. Suhu badan haiwan makmal boleh ditingkatkan dengan memberikan suntikan yis dan peningkatan suhu badan akan disukat pada bahagian rektal badan tikus. Keputusan uji kaji merakamkan kesan antipiretik ekstrak terhadap haiwan yang menerima rawatan. Ekstrak tersebut berupaya menurunkan suhu badan dan kesannya didapati setanding dengan ubat parasetamol.\nSelain itu, ekstrak akuas daripada akar kacang telang pernah diuji terhadap tikus untuk melihat kesannya terhadap rangsangan otak, terutamanya dari segi meningkatkan daya ingatan atau memori.\nFakta Menarik \nChee Beng Jin ialah Pegawai Penyelidik di Bahagian Hasilan Semula Jadi, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).\nSumber artikel: Dewan Kosmik, Mei 2021.\nSumber video: Dr. Yu." "Seminar Bahasa, Budaya, Adab dan Adat Istiadat Kesultanan dan Bangsa Melayu pada Abad ke-21\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Kangsar \u2212 Lembaga Pembangun Sastera (LEPAS) Perak dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU), GAPENA Malaysia, Majlis Kebudayaan Negeri Perak, serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perak telah melaksanakan Seminar Bahasa, Budaya, Adab dan Adat Istiadat Kesultanan dan Bangsa Melayu pada Abad ke-21.\nSeminar ini menampilkan tokoh yang tidak asing lagi sebagai panel pembicara, iaitu Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Penasihat PTS Media Grup, Prof. Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad, Pensyarah Universiti Putra Malaysia dan Dr. Kamaruddin Yaakob, Pensyarah Universiti Sultan Azlan Shah.\nSeminar yang dirasmikan oleh YB Dato\u2019 Nolee Ashilin Dato\u2019 Mohammed Radzi, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak ini turut dihadiri oleh wakil Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu Pengarah DBPWU, Encik Rahimi Arifin.\nDalam ucapan beliau, YB Dato\u2019 Nolee Ashilin menyarankan agar aktiviti kebahasaan, persuratan dan kebudayaan seumpama ini kerap dilaksanakan oleh persatuan, bukan sahaja setahun sekali, malah beberapa kali dalam setahun supaya aktiviti ilmu yang berteraskan bahasa, sastera dan budaya ini terus subur. Hal ini seiring dengan suasana negara yang semakin pulih daripada pandemik COVID-19 dan menuju suasana endemik yang membolehkan aktiviti seumpama ini terus dilaksanakan.\nDalam pada itu, Haji Abd. Rashid Ahmad Rafie, Ketua 1 LEPAS Perak dalam ucapan alu-aluannya memaklumkan bahawa LEPAS Perak akan menganjurkan Dialog Utara pada tahun ini yang akan melibatkan negeri di utara Semenanjung, utara Sumatera dan Selatan Thailand.\nDalam sesi pembentangan kertas pula, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan membentangkan tajuk, \u201cMembina Kepustakaan dalam Bahasa Melayu\u201d yang menegaskan kepentingan bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengantar pendidikan pada semua peringkat kerana kata beliau, \u201cSelagi kita tidak dapat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, kita tidak akan dapat menjadi seperti Jepun kerana tidak akan timbul kreativiti peribumi daripada bahasa yang bukan bahasa ibundanya sendiri.\u201d\nProf. Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad pula mengingatkan khalayak dalam pembentangan bertajuk, \u201cDiplomatik Kesultanan Melayu: Adab Adat Istiadat dalam Kehidupan Raja-raja Melayu\u201d dengan mengulangi petikan kata dalam Sulalat al-Salatin, \u201cRakyat itu umpama akar, dan raja itu umpama pohon, jikalau tiada akar nescaya pohon tiada akan dapat berdiri.\u201d\nSementara itu, Dr. Kamaruddin Yaakob membentangkan tajuk \u201cBudaya yang Hilang dan Budaya yang Mendatang\u201d dengan mengungkapkan kepentingan budaya hidup kita sebelum ini diingati dan dikekalkan walaupun budaya hidup kita kini sudah semakin berubah kerana kehadiran teknologi moden.\nSeminar yang berlangsung petang semalam diadakan di Hotel Casuarina Kuala Kangsar, Perak, menerusi\u00a0 pertemuan secara maya, Google Meet." "Teknologi Augmented Reality dalam Pemasaran\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPandemik COVID-19 menjadi pemangkin dan pemacu implementasi disruptif teknologi dalam sektor perniagaan runcit. Internet menemukan peniaga dengan pelanggan secara maya. Terdapat peniaga yang mempromosikan produk mereka melalui media sosial, laman sesawang atau di beberapa platform e-dagang lokal seperti ZALORA, LAZADA dan Shopee. Ada juga peniaga yang tidak melepaskan peluang untuk mempromosikan produk mereka di laman e-dagang antarabangsa seperti Alibaba.com, amazon.com, ebay, dan lain-lain.\nKepelbagaian teknik dan trend pemasaran digital yang berubah setiap hari menyebabkan kualiti penampilan visual produk semakin baik dari sehari ke sehari. Satu daripada trend terkini yang diaplikasikan oleh beberapa buah syarikat antarabangsa ialah teknologi Augmented Reality (AR) atau realiti terimbuh. Syarikat LACOSTE, TESCO, CONVERSE, ZARA, IKEA, dan MTV di luar negara menggunakan teknologi ini dalam penjualan produk dan penyediaan perkhidmatan layanan kepada pelanggan mereka.\nAR ialah teknologi yang menggabungkan kandungan digital ke alam realiti dengan cara unjuran (projection) objek maya dua dimensi (2D) atau 3D, dan kemudiannya dipaparkan dan diperlihatkan seperti benar-benar wujud di dunia nyata.\nAR dalam Pemasaran dan Pelayanan Pelanggan\nIKEA mengaplikasikan teknologi AR bagi membantu pengguna menghiaskan ruang di rumah mereka dengan menggunakan pelbagai produk di gedungnya. Pelayanan membeli-belah berteknologi AR memberikan kemudahan kepada pengguna untuk menghiaskan ruang dengan mengacukan perabot atau aksesori hiasan ke arah ruang rumah mereka.\nPengguna hanya perlu mengacukan kamera telefon pada satu sudut ruang di rumah dan meletakkan objek maya, misalnya sofa idaman ke sudut ruang tersebut. Produk sofa dipilih daripada senarai katalog IKEA dalam aplikasi berkenaan. Apabila gambar sudut atau ruang rumah difokuskan, maka sofa idaman akan dipaparkan secara maya pada skrin telefon. Aplikasi ini berjaya membantu para pengguna dan pelanggan memperoleh gambaran yang memenuhi cita rasa mereka.\nDULUX turut menggunakan aplikasi AR dalam melayani dan memenuhi cita rasa para pengguna dan pelanggan untuk memilih warna cat dinding ruang di rumah mereka. AkzoNobel, syarikat induk DULUX membeli aplikasi AR telefon bimbit interaktif bagi memudahkan pengguna memilih warna cat ruang dan dinding secara dinamik.\nSebuah lagi syarikat yang menggunakan teknologi AR dalam pelayanan pelanggannya ialah Gucci. Gucci, jenama fesyen mewah terkenal dengan produk berasaskan kulit, antaranya termasuklah beg tangan, beg, dompet, kasut, dan aksesori mewah.\nTerkini, dalam keadaan pandemik COVID-19, Gucci menggunakan aplikasi pelayanan pelanggan untuk menjual produk kasut sniker. Aplikasi ini memerlukan pengguna mengacukan fokus kamera telefon bimbit pada kaki, kemudiannya memilih kasut yang tersedia dalam senarai katalog aplikasi tersebut. Kaedah ini amat menjimatkan masa dan memudahkan pelanggan serta jurujual.\nPasar raya juga boleh mengambil manfaat daripada teknologi AR. Dalam situasi pandemik, pengguna amat berhati-hati apabila ke pasar raya dan memilih barangan di rak. Produk yang disentuh, dibelek, yang kemudiannya diletakkan semula akan memberikan kesan kepada kualiti kebersihan produk berkenaan. Teknologi AR bagi produk di pasar raya berkemungkinan akan muncul pada suatu hari nanti berdasarkan artikel dalam laman sesawang Retail Information News yang berpusat di Amerika Syarikat yang disiarkan pada 20 Januari 2021.\nMungkin banyak pengguna yang kurang menyedari penggunaan AR dalam kehidupan mereka. Pada masa akan datang, teknologi AR akan terus berkembang pesat. Perkembangan pesat ini bukan sahaja dalam bidang pemasaran dan penjualan, malah dalam bidang pendidikan dan latihan, kesihatan, makanan dan minuman, industri petroleum, industri perkilangan, dan sebagainya. Oleh itu, sinergi pelanggan, peniaga dan syarikat berjenama, platform e-dagang serta pakar pembangun aplikasi AR perlu terus disepadukan untuk memacukan kemajuan dan mewujudkan kebijaksanaan dalam amalan gaya hidup digital pada masa depan.\nDr. Siti Salwa Salleh ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Komputer, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi MARA Kampus Seremban, Negeri Sembilan.\n(Sumber: Dewan Kosmik, Oktober 2021)" "E-Ekspo [email\u00a0protected] Peluang untuk Anak Muda\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) penting bagi menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi baharu dalam sektor ekonomi pada masa depan. TVET di negara ini diiktiraf di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 sebagai\u00a0 satu pembolehdaya yang dapat menyumbang ke arah pembentukan negara membangun yang makmur dan inklusif.\nDalam usaha mempromosikan dan menyebarluaskan TVET kepada masyarakat, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menganjurkan Ekspo Institusi Pendidikan [email\u00a0protected] 2021 atau lebih dikenali sebagai e-Ekspo [email\u00a0protected] 2021 yang berlangsung secara dalam talian dari 29 September 2021 hingga 2 Oktober 2021.\nEkspo ini merupakan acara tahunan yang diadakan sejak dari tahun 2019 yang melibatkan tujuh buah Institusi Pendidikan TVET di bawah KPLB dengan sejumlah 279 buah Institusi Pendidikan TVET. Bermula dari tahun lepas, ekspo ini diadakan secara dalam talian. e-Ekspo pada tahun ini mengekalkan tema \u201c[email\u00a0protected], Pilihan Kemahiran Anda\u201d, #Saya Budak TVET.\nObjektif penganjuran e-Ekspo TVET @KPLB ini adalah untuk mempromosikan kesedaran secara berterusan kepada masyarakat, khususnya pelajar dan belia mengenai peluang pendidikan TVET. Antara pengisian ekspo ini, termasuklah pameran digital secara dalam talian; forum dan seminar sama ada secara langsung mahupun rakaman; video dan rakaman program atau aktiviti latihan kemahiran; sesi khidmat nasihat interaktif, dan majlis perasmian.\nSelain itu, Pertandingan Mencipta Logo dan Slogan [email\u00a0protected] dan Pertandingan Tiktok Challenge [email\u00a0protected] turut dianjurkan. E-Ekspo [email\u00a0protected] 2021 secara dalam talian boleh dicapai melalui Portal e-Ekspo [email\u00a0protected] 2021 (https://ekspotvet.rurallink.gov.my) dan media sosial\u00a0 rasmi KPLB seperti Facebook, Instagram, Twitter, dan TikTok.\nMajlis perasminan ekpo diadakan secara dalam talian pada 29 September 2021 dengan ucapan Pembukaan oleh Ketua Setiausaha KPLB, Dato\u2019 Dr. Ahamad Jailani Muhamed Yunus dan ucap utama oleh Menteri KPLB, Dato\u2019 Seri Mahdzir Khalid.\ne-Ekspo [email\u00a0protected] yang berlangsung selama empat hari secara dalam talian ini dibuka dari pukul 9 pagi sehingga 6 petang.\n(Sumber: Facebook KPLB)" "Citra Sahabat Dewan Kosmik dan FRIM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSidang Editor Dewan Kosmik menyantuni FRIM pada 1 Oktober 2021 yang lalu membincangkan aktiviti penulisan, kerjasama pintar antara Dewan Kosmik terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia atau Forest Research Institute Malaysia (FRIM) atas inisiatif dan semangat \u201cCitra Sahabat\u201d Dr. Azharizan Mohamad Norizan, Penyelidik FRIM dan Sidang Editor Dewan Kosmik.\nDalam sesi tersebut, FRIM memperkenalkan tarikan terbaharunya, Jejantas Rimba FRIM yang menyajikan pandangan hutan buatan manusia dan bandar raya yang menakjubkan dari ketinggian 141 meter dari aras laut.\nJejantas Rimba FRIM yang terletak di Taman Botani Kepong dibina menggunakan perancah aluminium yang diperkukuh dengan tiub keluli dan kabel besi penampung. Jejantas jenis ini yang merupakan yang pertama di dunia terdiri daripada 11 buah menara dan lapan buah jambatan dengan pelantar berketinggian antara 18 meter hingga 50 meter yang berjumlah 250 meter panjang.\nPengunjung perlu berjalan kaki sejauh 100 meter untuk menikmati pemandangan hutan yang kaya dengan spesies flora serta fauna dan panorama indah bandar raya Kuala Lumpur. Antara spesies flora dan fauna termasuklah pokok durian (Durio zibethinus), pokok tarap, pelbagai pokok herba dan yang mempunyai nilai perubatan, pelbagai spesies serangga dan burung, monyet ekor panjang (Macaca fascicularis), dan tupai gergasi (Ratufa bicolor).\n(Sumber video: Hamzah Awang, Bahagian Multimedia, Dewan Bahasa dan Pustaka)." "Impak Pencairan Ais Terhadap Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPencairan ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan semakin membimbangkan dan tidak boleh dipandang ringan. Pemanasan global menjadi punca utama pencairan ais di kawasan kutub. Pemanasan global merupakan fenomena pemerangkapan gas yang dikenali sebagai gas rumah hijau yang membabitkan kumpulan gas seperti karbon dioksida (CO2), karbon monoksida (CO), klorofluorokarbon (CFC), metana, dan nitrogen oksida yang menghalang dan memerangkap haba bumi daripada terbebas keluar ke angkasa. Kumpulan gas tersebut membenarkan bahang matahari menembusinya, namun menghalang pembebasan semula bahang bumi ke atmosfera. Amerika Syarikat meramalkan suhu dunia akan meningkat hingga 45\u00baC menjelang tahun 2030.\nPemanasan global berlaku disebabkan oleh aktiviti manusia, antaranya termasuklah perindustrian, pengangkutan, pembalakan, pembakaran hutan, pertanian, dan penternakan. Peningkatan suhu dunia secara mendadak bermula sejak zaman revolusi perindustrian apabila manusia menggunakan bahan api fosil secara meluas, terutamanya dalam sektor perindustrian dan pengangkutan.\nAkibat pemanasan global, ais di lautan dan daratan akan mencair dengan lebih banyak menjelang tahun 2030. Pencairan ais di sebahagian kawasan Artik akan berlaku dengan lebih pantas menjelang tahun 2050 sekiranya suhu di Artik menjadi panas, iaitu hingga -8.88\u00baC. Pemanasan global juga telah menyebabkan ais di Antartika mencair, berlaku pecahan lapisan ais dan seterusnya menghanyutkan aisberg.\nPara saintis juga meramalkan bahawa air laut akan meningkat sebanyak 1.3 meter menjelang tahun 2100 sekiranya suhu permukaan bumi lebih hangat hingga 3.5\u00baC. Menjelang tahun 2300, paras air laut boleh meningkat hingga lebih lima meter akibat pencairan kawasan Antartika Barat dan Greenland. Peningkatan paras air laut yang disebabkan oleh pencairan ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan juga akan menenggelamkan lebih banyak kawasan rendah, pesisir pantai, pulau, dan negara.\nMalaysia juga tidak terkecuali daripada menerima kesan pencairan ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan walaupun terletak jauh dari kawasan kutub. Centre for Governanceand Political Studies (Cent-GPS) mendedahkan bahawa sepanjang kawasan Parit Buntar hingga Taiping, Bagan Datoh, Teluk Intan, Kuala Selangor, Muar, Pekan, Pelabuhan Klang, dan Lebuhraya Utara-Selatan akan tenggelam pada tahun 2050.\nAlor Setar pula akan menjadi sebuah pulau, Shah Alam akan mengecil; Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan berada di sebelah pantai; Kuala Terengganu dan Kuching akan mengecil dan menjadi beberapa buah pulau. Jika perkara ini benar-benar berlaku, jutaan penduduk Malaysia akan terkesan kerana terpaksa berpindah di samping timbul beberapa masalah, antaranya termasuklah kekurangan makanan dan bekalan air bersih, kepadatan penduduk, pengangguran, dan masalah mendapatkan perkhidmatan yang terhad.\nKesimpulannya, pencairan ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan memberikan kesan terhadap hidupan di dunia ini. Pencairan ais di kawasan kutub pasti akan berlaku. Walau bagaimanapun, proses pencairan ais perlu dilambatkan. Oleh itu, aktiviti manusia yang menyumbang kepada pemanasan global perlu dikawal. Penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui, pembangunan lestari, menanam pokok, mengamalkan kitar semula, dan mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian merupakan antara langkah untuk mengurangkan kesan pemanasan global.\n(Sumber: Dewan Kosmik, Mac 2021)" "Peluang Memenangi Hadiah Menarik Tic Tac Malaysia X Mobile Legends\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kekal berpegang pada semangat yang ceria dan kreatif, Tic Tac bekerjasama dengan permainan mudah alih yang paling popular di Malaysia \u2013 Mobile Legends. Dengan evolusi amalan hiburan rakyat Malaysia, permainan dalam talian ialah forum terbaik untuk generasi muda merehatkan diri daripada kesibukan tugas harian dan memupuk semangat berkomuniti.\nMemandangkan peranan Tic Tac dalam menawarkan ketenangan dengan cara tersendiri dan menyatukan orang ramai dengan pek ikoniknya, Mobile Legends. Tic Tac Malaysia melancarkan kempen \u201cRefresh and Recharge\u201d yang bermatlamat memberikan inspirasi kepada para pemain untuk merasai kesegaran dan meraikan little wins dalam permainan, sekali gus menghindarkan diri daripada elemen negatif dalam talian dan membangkitkan kembali sifat murni dalam diri mereka.\nPada malam ini, penstriman Refresh and Recharge (R&R) Night (RR) di laman Facebook Tic Tac Malaysia, dengan dua orang pemain Mobile Legends terkemuka di Malaysia, iaitu Thanuk Pri Cha (Nukk) dan Syafiq Faizin (Zynn), serta pempengaruh gaya hidup (lifestyle influencer), Muhammad Syah Fitri, (Syahfit).\nTrio ini bertukar-tukar tip dan muslihat Mobile 2 Legends eksklusif, serta meluangkan masa melihat dan mengulas koleksi sesi permainan Mobile Legends Zynn yang menghiburkan. Acara selama satu jam ini, termasuklah perlawanan persahabatan Tic Tac Legend antara mereka bertiga.\nMereka dikehendaki menggunakan penyepit (chopstick) untuk mengembalikan gula-gula Tic Tac ke dalam bekas mereka dalam permainan pertama, \u201cMarksman Supreme\u201d. Mereka juga harus membina menara Tic Tac tertinggi daripada bekas kosong dalam permainan Support Tower dalam kedua-dua sesi yang mereka akan meraikan little wins mereka dengan Tic Tac.\nSebagai sebahagian daripada kempen \u201cRefresh and Recharge\u201d, rakyat Malaysia berpeluang memenangi lebih 1500 aset seperti Diamond (50 hingga 1000 Diamond), Skin dan Hero setiap minggu. Orang ramai hanya perlu membeli Tic Tac dengan mana-mana perisa pudina (mint), minyak pooh (spearmint), oren (orange), dan strawberi (strawberry) dan memuat naik resit pembelian di www.tictac.my untuk layak memenangi hadiah.\nTic Tac juga akan memberikan 40 hadiah utama setiap minggu, termasuklah Limited Edition, Special Skins, Heroes, dan 1000 Diamonds. Untuk layak menerima hadiah bonus ini, gunakan hashtag #TicTacRecharge dan kongsi siaran awam di Facebook/Instagram anda dengan menyatakan sebab anda suka Tic Tac. Selepas anda mengikuti langkah yang dinyatakan, muat naik tangkapan layar siaran anda untuk layak \u00a0menyertai peraduan Bonus mingguan!\n\nKempen \u201cRefresh and Recharge bersama-sama Tic Tac akan berlangsung dari 4 Oktober hingga 28 November 2021. Maklumat lanjut mengenai kempen dan promosi boleh didapati di laman web Tic Tac Malaysia (www.tictac.my) Facebook Tic Tac Malaysia (https://www.facebook.com/tictacmalaysia/)\nTic Tac Tic Tac\u00ae ialah jenama gula-gula utama Ferrero Group. Tic Tac\u00ae mula dihasilkan pada tahun 1969, dan mencatatkan kejayaan sebagai gula-gula untuk nafas segar yang unik dan dengan penutup atas dan bunyi \u201cberdetar\u201d yang popular. Tic Tac\u00ae dalam rasa asli pudina dan oren benar-benar menguasai dunia, dipasarkan di lima buah benua. \u00a0Dengan matlamat\u00a0untuk memberikan kejutan dan menceriakan pengguna dengan sensasi rasa segar, Tic Tac\u00ae kini menjadi satu jenama terkemuka di dunia dalam pembuatan gula-gula saku dengan pelbagai rasa pudina dan buah-buahan.\n\u00a0Jenama ini mempunyai sejarah yang panjang di Malaysia dan kini mempunyai empat perisa, termasuklah pudina (mint), minyak pooh (spearmint), oren (orange), dan strawberi (strawberry). Tentang Mobile Legends: Bang Bang Mobile Legends: Bang Bang ialah permainan \u00a0(MOBA) mudah alih yang paling popular di seluruh dunia yang menyatukan komuniti melalui kerjasama berpasukan dan strategi. Dengan lebih daripada satu bilion pemasangan dan 100 juta orang pengguna bulanan aktif, permainan terunggul ini adalah antara 10 permainan dalam talian teratas yang paling banyak dimainkan di lebih daripada 80 \u00a0buah negara. Dengan jangkauan yang luas di rantau Asia Pasifik, multiplayer tersedia di 139 buah negara dengan kehadiran e-sukan global yang luas." "Masalah Kesihatan Mental Perlukan Sokongan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHari Kesihatan Mental Sedunia pertama kali disambut pada 10 Oktober 1992 untuk mempromosikan sokongan terhadap kesihatan mental dan mendidik masyarakat mengenai isu berkaitan dengan kesihatan mental.\nTema Hari Kesihatan Mental Sedunia 2021 ialah \u201cKesihatan Mental dalam Dunia yang Tidak Setara (Mental Health in an Unequal World). Kesihatan mental menjadi tumpuan pada masa pandemik COVID-19\u00a0 kerana banyak orang dari pelbagai latar belakang menanggung beban kebiasaan baharu dan terjejas dari aspek kesihatan. Sebagai contohnya, pekerja barisan hadapan, pelajar, individu yang tinggal bersendirian, dan individu yang mempunyai masalah kesihatan mental.\nIndividu yang mengalami masalah kesihatan mental berdepan dengan keadaan kesihatan jangka panjang di samping menghadapi diskriminasi. Individu yang\u00a0 mengalami masalah\u00a0 kesihatan mental mempuyai risiko yang lebih tinggi untuk mati sebelum waktunya. Oleh hal yang demikian, masyarakat perlu memainkan peranan penting untuk mewujudkan sistem sokongan yang baik dan bermanfaat bagi menangani masalah kesihatan mental.\nPandemik COVID-19 meningkatkan cabaran kita berlipat kali ganda untuk menangani masalah kesihatan mental,\u201d kata Dr. Poonam Khetrapal Singh, Pengarah Wilayah Pertubuhan Kesihatan Sedunia Peringkat Asia Tenggara.\nMenurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kemurungan merupakan penyakit kesihatan mental yang paling biasa yang menjadi penyebab utama kecacatan. Bunuh diri pula menjadi penyebab kematian kedua bagi mereka yang berusia\u00a0 antara 15 hingga 29 tahun. Majoriti penduduk yang hidup dengan masalah kesihatan mental adalah di negara berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak mendapat rawatan yang mencukupi." "Kesihatan Mental dalam Dunia Berbeza\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Malaysia kini mempunyai kira-kira 500 orang ahli psikiatri dengan nisbah seorang ahli psikiatri untuk lebih kurang 100 000 orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah (gambar).\nBeliau berkata, nisbah yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia ialah seorang ahli psikiatri untuk 10 000 orang. Oleh itu bagi mengimbangi perbezaan itu dengan berkesan, profesional penjagaan kesihatan lain perlu meningkatkan kemahiran\u00a0 menilai dan menguruskan masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.\n\n\u201cMalaysia kini mempunyai lebih daripada 57 000 orang doktor, dengan doktor am terdiri daripada 6700 orang doktor yang berkhidmat di bandar dan di luar bandar. Kaedah paling berkesan adalah untuk memperkasakan doktor ini dan doktor keluarga.\n\u201cIni tetap menjadi tumpuan dalam kebanyakan masyarakat di kawasan bandar dan luar bandar, melengkapkan mereka dengan pengetahuan yang mencukupi dan rawatan terkini dalam psikiatri akan menjadikan mereka dalam keadaan baik mendiagnosis penyakit mental dalam masyarakat untuk pengesanan awal. Gangguan mental adalah antara keadaan kesihatan yang paling biasa di seluruh dunia. Oleh itu perlu dianggap keutamaan kesihatan global,\u201c ujar beliau.\nDr. Noor Hisham berkata demikian dalam ucap utama pada Training Day in Psychiatry Hari Kesihatan Kesihatan Mental Sedunia 2021 anjuran Akademi Perubatan Malaysia serta Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia, yang diadakan secara maya hari ini. Program latihan secara maya yang bertemakan \u201cKesihatan Mental dalam Dunia Berbeza\u201c itu memaparkan pelbagai topik penting daripada kemurungan hingga penyakit mental pada kanak-kanak, mengumpulkan lebih 600 orang doktor dari pelbagai bahagian rangkaian rawatan kesihatan.\n(Sumber berita: Harian Metro)\n(Sumber gambar: New Straits Times)" "\u201cInovasi DBP: Hendak Seribu Daya\u201c \u2013 Timbalan Menteri Pendidikan II\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cInovasi memerlukan idea, kehendak dengan daya usaha yang tinggi untuk melakukan perubahan. \u2018Hendak Seribu Daya\u2019 amat bertepatan dengan prinsip peri pentingnya anjakan paradigma dalam membawa perubahan drastik kepada organisasi. Perubahan kepada sistem, prosedur, kaedah serta cara bekerja perlu dilaksanakan dengan penuh iltizam untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan kepada sistem penyampaian perkhidmatan serta memberikan faedah kepada pelanggan\u201d, kata Timbalan Menteri Pendidikan II, YB Datuk Mohamad Haji Alamin semasa merasmikan Majlis Inovasi DBP 2020/2021 pada pagi ini.\nMenurut YB Datuk Mohamad Haji Alamin, dalam mendepani era Revolusi Industri 4.0, sebanyak tujuh pekerjaan yang tidak akan terjejas, iaitu bidang industri kreatif, teknologi informasi, profesional, pengurusan, kesihatan, pendidikan, dan pembinaan.\nWalau bagaimanapun, tambah beliau, terdapat empat cabaran utama dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0. Pertama, mengubah bukan sahaja apa-apa yang kita lakukan, sebaliknya menuntut anjakan pemikiran tentang siapakah kita pada era Revolusi Industri 4.0? Kedua, mempengaruhi persekitaran ekonomi, politik, sosial, dan budaya. Ketiga, memaksa kita untuk mentakrifkan sempadan moral dan etika kesan perubahan yang drastik, dan yang keempat ialah \u201cnyahkemanusiaan\u201d (dehumanisation) kerana perkembangan teknologi yang pesat telah mengurangkan peranan manusia.\nGagasan Masyarakat Sejahtera 5.0 pula menuntut masyarakat menguasai kehidupan di alam maya dan di alam fizikal. Gagasan ini merupakan manifestasi era Revolusi Industri 4.0 yang menumpukan pengkomputeran awan melalui ruang virtual dan ruang nyata yang dipacu oleh data raya dan Internet benda (IoT). Inovasi penciptaan, iaitu kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) menjadi tanda aras yang merubah gaya kehidupan masyarakat dalam mengadaptasi teknologi.\nTambah beliau lagi, bagi mendepani cabaran pendigitalan dan usaha DBP untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, transformasi digital yang dilaksanakan oleh DBP amat dibanggakan. Sebagai contohnya, pelantar digital DBP atau JendelaDBP yang dibangunkan untuk menyebarluaskan maklumat berkaitan dengan fungsi DBP merupakan manisfestasi usaha yang dijalankan secara bersungguh-sungguh dengan daya usaha yang ada.\nPelantar yang terdiri daripada komponen Laman Utama, Sohor Kini, e-Majalah, Ujana atau ruang produk penerbitan DBP, TV DBP dan Radio DBP merupakan inovasi dalam usaha pemusatan data, pembinaan data raya secara bersepadu dan setempat dengan kepelbagaian wadah kandungan digital untuk manfaat masyarakat. Keterangkuman maklumat ini telah menyediakan platform penyampaian perkhidmatan awam yang pantas, cekap dan jimat serta berupaya menyerlahkan imej DBP.\nSelain itu, menurut YB Datuk Mohamad Haji Alamin, usaha inovasi menerusi penstrukturan data Kamus Dewan Perdana menggunakan kepakaran dalaman pastinya memberikan impak yang besar kepada masyarakat serta menjadi khazanah ilmu yang unggul yang tidak ternilai harganya. Peperiksaan secara dalam talian, pameran secara digital dan pemantapan Khidmat Pengesahan Bahasa DBP secara dalam talian yang dilaksanakan oleh karyawan DBP memperlihatkan bahawa staf DBP berupaya untuk membawa perubahan dalam persekitaran kerja dan melakukan inovasi untuk meningkatkan produktiviti dan kaedah kerja kerana sebahagian kerja telah diautomasikan.\nMengulas lanjut, inovasi bukan hanya dilihat menerusi penggunaan sistem atau teknologi, malah inovasi boleh dilaksanakan oleh staf DBP melalui pengkaryaan dan penghasilan produk. Bakat staf DBP yang diserlahkan menerusi kreativiti dalam pengkaryaan juga berupaya melahirkan sumber manusia yang berilmu dan berupaya mengorganisasikan pemikiran, kehidupan dan memberikan impak yang baik kepada peningkatan produktiviti organisasi. Begitu juga dengan penciptaan produk atau perkhidmatan. Peluang dan ruang yang ada boleh dimanfaatkan oleh staf DBP untuk merealisasikan inovasi.\nBertepatan dengan tema Hari Inovasi DBP 2020/2021, \u201cHendak Seribu Daya\u201d, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran menjelaskan bahawa aspek inovasi perlu sentiasa diberikan penekanan kerana inovasi ini akan membuahkan hasil dan produk yang lebih baik serta efisien bagi memastikan kelangsungan sesebuah organisasi seperti DBP. Dalam majlis tersebut, beliau amat menitikberatkan aspek peremajaan DBP untuk mempersegarkan keadaan dan memikirkan kaedah kerja yang lain daripada yang lain.\nAspek inovasi ini sememangnya diberikan perhatian. Sebagai contohnya, dalam usaha pendigitalan dan mengautomasi cara kerja di pejabat sejak dahulu lagi. Kita sudah memperkenalkan banyak sistem kerja yang menggunakan aplikasi-aplikasi terbaharu yang membantu mempercepat kaedah dan cara bekerja, misalnya dalam sistem kewangan dan kaedah penyampaian untuk membantu masyarakat memahami hal yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan melalui Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Kita juga ada menyediakan kaedah baharu untuk membantu masyarakat yang memerlukan nasihat atau panduan penggunaan bahasa yang betul dalam iklan menerusi Khidmat Nasihat Bahasa dan Khidmat Pengurusan Iklan secara dalam talian.\nMenurut beliau lagi, dalam konteks semasa, DBP sedang bergerak jauh ke hadapan. Usaha pendigitalan yang sedang dilakukan oleh DBP sekarang melalui pelantar digital DBP merupakan permulaan yang sangat penting untuk melakukan inovasi. Semua penerbitan DBP dipaparkan dalam bentuk digital dan boleh diakses oleh masyarakat secara meluas.\nDalam majlis tersebut turut diadakan pelancaran Manual Prosedur Kerja: Perolehan dan Bayaran DBP, penyampaian watikah pelantikan Juruaudit Dalam MS ISO Dewan Bahasa dan Pustaka Sesi 2021-2025 dan Juruaudit Dalam Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Dewan Bahasa dan Pustaka Sesi 2021-2025. Selain itu, terdapat juga acara penyampaian Hadiah Cadangan Inovasi DBP dan penyampaian Anugerah Inovasi dan Citra DBP yang merangkumi Anugerah Citra Karya DBP, Anugerah Citra Program DBP, Anugerah Citra Sahabat DBP, dan Anugerah Inovasi Ketua Pengarah DBP. Majlis diakhiri dengan persembahan lagu puisi oleh kumpulan Lasykar Seni." "Hari Inovasi DBP 2020/2021: Menghargai Usaha Staf dan Rakan DBP yang Berinovasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Majlis sambutan Hari Inovasi DBP 2020/2021 yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan II, YB Datuk Mohamad Haji Alamin pada pagi ini secara dalam talian merupakan acara kemuncak yang diadakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada usaha dan inisiatif berkaitan dengan aspek kualiti, kreativiti dan inovasi yang telah dilaksanakan oleh warga kerja DBP dan rakan DBP. \u201cHendak Seribu Daya\u201d merupakan tema yang dipilih pada tahun ini. Tema ini mencerminkan semangat warga kerja DBP dalam melaksanakan tugas walaupun negara berdepan dengan pandemik COVID-19.\nDalam majlis tersebut, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran menjelaskan bahawa pandemik COVID-19 menuntut warga kerja DBP untuk bertindak dengan kreatif dan inovatif dalam kebiasaan baharu. Oleh itu, penganjuran program, aktiviti serta penyampaian perkhidmatan perlu dilaksanakan secara dalam talian dengan memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi yang terkini. Kesediaan warga kerja DBP terhadap perubahan ini memberikan petanda positif dan membuktikan warga kerja DBP komited dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan walaupun\u00a0 menghadapi pelbagai rintangan.\nSebagai menghargai usaha tersebut, pada majlis ini DBP turut meraikan pemenang Anugerah Hari Inovasi DBP 2020/2021 dengan menyampaikan hadiah dan anugerah kepada jabatan, bahagian, staf dan rakan DBP yang menunjukkan inovasi dalam kerja dan membawa pembaharuan dalam menjayakan pelbagai program DBP. Hadiah dan anugerah tersebut adalah seperti yang berikut:\n\u00b7 Anugerah Citra Karya DBP\n\u00b7 Anugerah Citra Program DBP\n\u00b7 Anugerah Citra Sahabat DBP\n\u00b7 Anugerah Inovasi Ketua Pengarah DBP\nHadiah Cadangan Inovasi DBP merupakan penghargaan dan pengiktirafan yang diberikan kepada warga DBP yang telah menyumbangkan cadangan atau idea inovasi penambahbaikan penghasilan produk dan penyampaian perkhidmatan DBP kepada pelanggan. Pemenang bagi kategori ini ialah Puan Mardhiah Othman dari Bahagian Perkamusan. Beliau telah mengemukakan cadangan inovasi tentang konsep pembangunan pamflet menggunakan kemudahan aplikasi papan pemuka (dashboard) mylink.\nSeterusnya, penyampaian Anugerah Inovasi dan Citra DBP merangkumi empat kategori. Pertama, Anugerah Citra Karya DBP yang diberikan kepada karyawan DBP yang menghasilkan penulisan ilmiah dan kreatif hingga berjaya meningkatkan citra DBP dan memberikan impak kepada DBP untuk menyebarluaskan dan memartabatkan bahasa, sastera dan persuratan Melayu. Pemenang anugerah ini bagi kategori karya ilmiah telah dimenangi oleh Encik Muhammad Fadhli Al-Akiti dari Bahagian Majalah, Jabatan Penerbitan dengan penghasilan karyanya yang bertajuk \u201cHomaj Intertekstualiti P.Ramlee pada Pendekar Bujang Lapok: Daripada Sanshiro Sugata, Karya Awal Akira Kurosawa\u201d. Bagi kategori karya kreatif pula telah dimenangi oleh Puan Hasni Jamali dari Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja yang mempertaruhkan penulisannya yang bertajuk \u201cSaat Hujan Turun\u201d (Skrip Drama Radio).\nAnugerah Citra Program DBP pula merupakan pengiktirafan yang diberikan kepada program atau projek yang dinilai sebagai terbaik dan berjaya meningkatkan citra DBP. Kamus Dewan Perdana yang menjadi rujukan utama masyarakat, pendidik, pelajar, pengkaji dan pencinta bahasa berjaya meraih anugerah ini sekali gus memberikan impak yang besar dalam menyebarluaskan serta memartabatkan bahasa, sastera dan persuratan Melayu.\nBagi menghargai pihak luar sama ada kepada individu, persatuan, syarikat, pertubuhan, agensi, dan sebagainya yang telah memainkan peranan penting dalam membantu DBP memartabatkan bahasa, sastera dan persuratan Melayu, Anugerah Citra Sahabat DBP telah diberikan kepada mereka yang terlibat. Bagi kategori individu, anugerah ini telah diberikan kepada Profesor Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz dan Encik Saadin Abdullah.\nAnugerah Citra Sahabat DBP ini juga dianugerahkan kepada Jabatan Pendidikan Tinggi dan Majlis Sukan Negara (kategori sektor awam), Translife Education Sdn. Bhd. (kategori sektor swasta), Kelab Siam Sektor Awam, Persatuan Seni Khat Kebangsaan dan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (kategori persatuan atau pertubuhan). Seterusnya, bagi kategori media elektronik, anugerah ini diraih oleh Radio Sinar FM.\nAnugerah Inovasi Ketua Pengarah DBP turut disampaikan dalam majlis ini yang merupakan suatu pengiktirafan kepada hasil inovasi yang telah dilaksanakan oleh jabatan, cawangan, wilayah, bahagian atau unit, khususnya dalam aspek penyampaian perkhidmatan serta peningkatan citra DBP.\nUsaha gigih Jabatan Penerbitan dalam menghasilkan inovasi, mereka bentuk suatu platform digital, iaitu\u00a0 JendelaDBP yang menjadi wahana untuk DBP menempatkan bahan-bahan penerbitan digital DBP di bawah \u201csatu bumbung\u201d di samping mempromosikan dan memasarkan sendiri produk penerbitan DBP telah membuahkan hasil kerana dinobatkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Ketua Pengarah DBP dalam Majlis Hari Inovasi DBP 2020/2021 pada hari ini.\nYBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran mengucapkan tahniah dan syabas kepada kesemua penerima hadiah dan anugerah inovasi bagi tahun 2020/2021. Beliau menyatakan bahawa ketersediaan untuk berubah dan berinovasi merupakan kunci utama kejayaan organisasi ini. Beliau berharap agar staf DBP akan terus berusaha bagi meningkatkan kreativiti dan melakukan inovasi untuk menghasilkan lebih banyak produk dan perkhidmatan yang terbaik." "Mikroplastik dalam Kerang Jejaskan Kesihatan Manusia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMalaysia merupakan antara pengeluar makanan laut terbesar di Asia Tenggara, maka tidak hairan jika hasil laut merupakan hidangan protein utama masyarakat setempat. Berdasarkan kajian The Worldwide Fund for Nature (WWF), menjelang tahun 2050, lautan akan mengandungi lebih banyak plastik daripada ikan berdasarkan berat.\nMalaysia merupakan antara negara Asian yang turut menyumbang kepada peningkatan jumlah sisa plastik kepada alam sekitar. Sifat plastik yang tahan lama, murah, dan mudah didapati menjadikan penggunaanya meluas bukan sahaja di sektor industri, malah dalam kalangan masyarakat.\nPeningkatan pengeluaran plastik dunia merupakan punca penyelewengan dalam penggunaan dan pengurusan bahan tersebut. Oleh hal yang demikian, kerajaan mengambil langkah bijak dengan memperkenalkan Roadmap Towards Zero Single\u2013Use Plastic 2018\u20132030 untuk mengawal pengeluaran dan pengurusan sisa plastik.\nPembuangan sisa plastik, terutamanya di persekitaran akuatik mengundang isu dan masalah sejagat. Kesan tindakan alam semula jadi seperti cahaya matahari, ombak dan kesan jangka panjang akan menyebabkan sisa plastik berubah kepada partikel yang dikenali sebagai mikroplastik.\nMikroplastik ialah kepingan plastik kecil yang kurang daripada 5 milimeter panjang yang boleh membahayakan hidupan lautan dan akuatik. Sifat mikroplastik yang kecil inilah yang mengancam hidupan marin.\nBerdasarkan kajian, ada hidupan marin yang mati akibat memakan plastik atau terperangkap dalam sisa plastik. Yang lebih membimbangkan ialah bahan plastik yang dimakan oleh hidupan marin masih tersimpan dalam sistem badannya. Keadaan ini sekali gus mencetus fenomena mikroplastik yang menjadi tumpuan masyarakat dunia hari ini. Hal ini demikian kerana mikroplastik menjadi sebab kewujudan plastik dalam sistem pencernaan manusia.\nKajian membuktikan bahawa mikroplastik wujud dalam haiwan laut \u00a0yang menjadi sumber protein utama manusia. Kerang hijau atau nama saintifiknya Perna veridis, adalah antara haiwan yang menjadi tumpuan kerana sifatnya sebagai pemakan menuras atau filter feeder dan menjadi sumber protein kepada manusia. Kerang hijau banyak ditemukan di selatan tanah air, iaitu di Johor yang merupakan pengeluar kerang utama di Malaysia.\nPeningkatan kawasan perindustrian, sikap masyarakat dan kegiatan perikanan merupakan antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan pembuangan plastik ke dalam air sekali gus menyumbang kepada peningkatan mikroplastik.\nMikroplastik dalam kerang dan makanan laut yang lain menjejaskan kesihatan manusia kerana manusia memakan isi kerang secara menyeluruh tanpa mengasingkan saluran pencernaan kerang. Makananan laut tersebut terkumpul dalam tubuh manusia melalui rantaian makanan, menjejaskan kesihatan sejagat Walaupun risikonya terhadap kesihatan manusia masih pada peringkat kajian, tetapi beberapa jenis plastik yang dikenal pasti, boleh melarut resapkan toksin.\nBagi menjamin hasil makanan laut yang sihat dan selamat, masyarakat digesa agar bertindak secara positif dan proaktif dengan mengurangkan pembuangan sisa plastik ke persekitaran, terutamanya \u00a0ke dalam sungai dan laut. Makanan laut yang terancam ini bukan sahaja memberikan kesan negatif kepada kesihatan individu dan masyarakat, malah menjadi beban kepada sistem kesihatan awam.\n\nTinjauan penulis di sekitar kawasan peternakan kerang hijau di Selat Tebrau, Johor. Penulis membuat pengecaman mikroplastik dalam kerang hijau di dalam makmal." "Pindaan Akta DBP Kunci Utama Bahasa Perantara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini bagi mendaulatkan bahasa Melayu hingga peringkat antarabangsa serta cadangan pindaan Akta DBP bagi membolehkan perancangan dan strategi memperkasakan bahasa kebangsaan dapat direalisasikan menarik perhatian banyak pihak.\nPengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr. Hazami Jahari berkata, gagasan yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri ini amat dinanti-nantikan oleh pejuang dan pencinta bahasa serta DBP. Keseriusan dalam perancangan, pelaksanaan dasar serta pelan strategi berkaitan dengan bahasa kebangsaan ini akan berupaya meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN dan bahasa bertaraf antarabangsa.\nKesemua pelaksanaan bagi pembinaan dan kemajuan bahasa Melayu sudah dilaksanakan DBP. Namun demikian, Akta DBP pada masa ini mengehadkan bidang kuasa yang berkaitan dengan pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu bagi dalaman sahaja. Oleh itu, pindaan Akta DBP ini sudah tentu menjadi kunci utama DBP untuk merealisasikan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara utama.\nMenurut Dr. Hazami, pindaan Akta DBP akan menghuraikan bidang kuasa DBP secara lebih tegas dengan menguatkuasakan Akta Bahasa Kebangsaan, iaitu mana-mana pihak yang tidak menghormati bahasa kebangsaan akan dikenakan tindakan, denda atau hukuman seperti yang termaktub dalam peruntukan undang-undang pindaan akta tersebut.\nNamun demikian, hal ini bukanlah fokus utama DBP, sebaliknya yang paling penting hendaklah seluruh rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk menghormati dan menghayati bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan ini dengan sepenuh jiwa raga.\nMenurutnya, pindaan Akta DBP ini menjelaskan DBP sebagai badan yang berautoriti untuk mengesahkan bahasa Melayu dengan penarafan dan piawaian yang ditetapkan. Melalui akta ini membolehkan DBP menubuhkan syarikatnya bagi pengkhususan dalam bidang perniagaan penerbitan berkaitan dengan bahasa dan sastera kebangsaan.\n\u201cPindaan Akta DBP juga membolehkan DBP bergerak dengan lebih banyak program pada peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa dalam usaha mengembangkan bahasa Melayu,\u201d katanya lagi.\nDalam program yang sama, Pakar Psikologi Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prof. Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw berkata, sebagai ahli Keluarga Malaysia haruslah memahami konsep jati diri yang dibangunkan menerusi bahasa Melayu. Negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan budaya dapat disatukan dengan satu bahasa mengikut acuan Keluarga Malaysia.\nContohi jati diri yang utuh melalui citra bahasa yang ditunjukkan oleh warga China, Jepun dan Korea. Bahasa mereka menjadi identiti bangsa di negara berkenaan. Faktor inilah yang menyumbang kekuatan bangsa yang mencerminkan jati diri melalui bahasa kebangsaan,\u201d jelas Dr. Jessica Ong.\nSlot MHI yang dikendalikan oleh Ahmad Fedtri Yahaya dan Fariha Onn mengupas perbincangan yang berkaitan dengan \u201cBahasa Melayu sebagai Bahasa Perantara Utama\u201d." "Kunjungan Dewan Kosmik ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan Labuan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLabuan \u2013 Editor majalah Dewan Kosmik, Ritah Yahaya membuat kunjungan ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan Labuan untuk menyatakan hasrat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi menjalinkan kerjasama pintar dalam bidang penerbitan, khususnya kegiatan penulisan berkaitan dengan bidang STEM dan veterinar untuk diterbitkan dalam majalah Dewan Kosmik dan pelantar penerbitan digital Dewan Bahasa dan Pustaka, JendelaDBP Dewan Kosmik.\nPertemuan yang berlangsung antara Editor Dewan Kosmik dengan Ketua Bahagian Pembangunan Industri Ternakan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan Labuan, Dr. Siti Nur Hani Arib yang mewakili Pengarah Jabatan Veterinar Wilayah Persekutuan Labuan dan Dr. Marysia James Abie itu mendapat respons yang positif.\u00a0 \nMenerusi pertemuan itu, Dr. Siti Nur Hani menzahirkan kegembiraan dan keterujaan pihak jabatan atas peluang dan ruang kerjasama penulisan seumpama ini yang dilihat berupaya menyuntik semangat dan memberikan galakan kepada kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan Labuan untuk berkongsi ilmu dan hasil penyelidikan dengan khalayak berkaitan dengan peranan dan penglibatan jabatan, bidang veterinar, konservasi, penyakit haiwan, pengurusan haiwan, termasuklah pengurusan Taman Burung Labuan,\u00a0 dan lain-lain dalam bentuk penulisan sains popular.\nTaman Burung Labuan merupakan satu-satunya taman burung di Borneo yang sepenuhnya ditadbir oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan Labuan. Taman Burung Labuan yang menjadi tarikan masyarakat tempatan serta pelancong dari dalam negara dan luar negara menempatkan lebih daripada 600 ekor burung dari pelbagai spesies eksotik dan Borneo.\nKerjasama penerbitan antara DBP dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan Labuan diharapkan dapat mendekatkan jabatan dengan masyarakat melalui kegiatan penulisan sains popular agar masyarakat bukan sahaja celik STEM, malah memahami tentang peri pentingnya ekosistem yang baik dan seimbang demi kehidupan yang lestari.\n(Gambar: Ritah Yahaya (kiri), Dr. Siti Nur Hani Arib (tengah) dan Fatin Syazana\u00a0 Zulkafali, mantan penolong editor Dewan Kosmik (kanan)." "Osteoporosis Datangnya Secara Perlahan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHari Osteoporosis Sedunia yang disambut pada 20 Oktober setiap tahun bertujuan menyedarkan masyarakat tentang langkah awal pencegahan penyakit osteoporosis.\nOsteoporosis ialah keadaan tulang badan individu yang kehilangan kepadatan hingga mengakibatkan tulang menjadi rapuh dan mudah patah. Tulang ialah tisu hidup yang berupaya membaiki dengan sendirinya secara berterusan.\nTulang merangkumi bahagian luar yang keras, mengandungi jaringan kolagen (serat elastik yang kuat), bahan mineral, salur darah, dan sum-sum tulang. Pada kebiasaannya, tulang yang sihat amat padat dengan ruangan di antara tulang adalah kecil.\nBagi penyakit osteoporosis, ruangan di antara tulang adalah besar. Keadaan ini menjadikan tulang lemah dan kurang elastik. Perkara ini sering berlaku dalam kalangan individu yang meningkat usia dan wanita yang menopaus. Hal ini dikatakan demikian kerana tubuh mereka tidak lagi dapat menggantikan tisu tulang yang lama dengan tisu tulang baharu yang lebih sihat.\nOsteoporosis tidak berlaku secara mendadak. Gejalanya tidak begitu ketara pada peringkat awal dan boleh memakan masa beberapa bulan atau tahun. Antara tanda osteoporosis, termasuklah sakit sendi, sukar untuk berdiri tegak atau duduk atau kepatahan tulang tanpa hentaman atau hentakan.\nApabila tulang menjadi nipis (rendah dalam jisim tulang), tulang pergelangan tangan, tulang pinggul atau tulang spinal (vertebra) lebih senang patah. Osteoporosis boleh menyebabkan tulang rusuk patah walaupun individu itu hanya batuk atau bersin. Bongkok dalam kalangan warga emas adalah satu daripada gejala osteoporosis. Keadaan ini berlaku kerana tulang vertebra patah (atau pecah). Oleh hal yang demikian, penghidap penyakit ini sukar menyokong berat badannya.\nWanita lebih berisiko tinggi menghidap osteoporosis berbanding dengan lelaki. Terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko osteoporosis, antaranya termasuklah penurunan hormon estrogen selepas menopaus, mengalami menopaus lebih awal sebelum usia 45 tahun, menjalani pembedahan histerektomi (pembuangan organ rahim) sebelum usia 45 tahun, terutamanya jika ovari dibuang sekali dan tidak datang haid dalam tempoh yang lama (lebih daripada enam bulan).\nSementara itu, hormon testosteron lelaki membantu membentuk tulang yang sihat. Lelaki menghasilkan hormon secara berterusan walaupun pada usia lanjut. Namun begitu, lelaki berisiko mendapat osteoporosis jika paras hormon rendah. Oleh itu, individu yang bergejala perlu segera mendapatkan nasihat pakar kesihatan untuk memilih kaedah rawatan yang sesuai dan terbaik untuk mencegah osteoporosis." "Hasil Marin Labuan, Bukan Hanya Coklat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPenulis sudah beberapa kali mengunjungi Labuan. Kali terakhir penulis menjejakkan kaki ke pulau itu ialah enam tahun yang\u00a0 lalu. Baru-baru ini, penulis sekali lagi berpeluang mengunjungi Labuan untuk membuat liputan Program Media Engagement, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia Besempena dengan Kempen Kembali ke Sekolah bersama-sama pelbagai agensi media dari Kuala Lumpur dan Labuan. Labuan menjadi satu-satunya wilayah negeri dan Persekutuan yang beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara.\nPengisian program, antaranya termasuklah meninjau pemberian vaksin kepada pelajar yang berumur antara 12 tahun hingga 15 tahun dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Pusat Pemberian Vaksin Sekolah Kebangsaan Sungai Lada dan suasana pembukaan sekolah di Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru, \u00a0Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancha-rancha dan SMK Mutiara. Walaupun terikat dengan jadual tugas yang padat, jeda masa yang ada, penulis manfaatkan untuk mencari buah tangan istimewa dari Labuan untuk dibawa pulang.\nPenulis tertanya-tanya tentang cenderamata istimewa Labuan yang lain selain pelbagai coklat import yang dikatakan murah di pulau bebas cukai itu sebagaimana di Pulau Langkawi berbanding dengan tempat lain. Dalam pada penulis tertanya-tanya dan tercari-cari cenderamata popular dan menarik, beberapa orang rakan media yang merupakan penduduk tempatan mencadangkan kepada penulis agar membeli ikan bilis. Barulah penulis tahu bahawa Labuan bukan hanya terkenal dengan coklat import, tetapi juga produk hasil laut yang segar seperti ikan bilis dan ikan masin.\n\nProses mengasingkan ikan bilis daripada hasil marin yang lain. Melvin Teo Twan Ann, Pengurus TLG Maju Enterprise.\nPenulis sempat singgah di TLG Maju Enterprise, sebuah syarikat pembekal hasil marin yang segar seperti ikan bilis dan ikan masin yang terkenal di Labuan. Syarikat yang \u00a0diuruskan oleh Melvin Teo Twan Ann itu beroperasi di Simpang Canggih, Kampung Belukut.\nTLG Maju Enterprise membekalkan pelbagai jenis ikan bilis dan ikan masin dengan harga yang berpatutan kepada pemborong, peruncit, masyarakat tempatan, dan pelancong. Kini, syarikat yang mempunyai beberapa orang pekerja wanita itu giat beroperasi semula untuk memenuhi permintaan daripada masyarakat setempat dan pelancong, lebih-lebih lagi \u00a0setelah tamat Perintah Kawalan Pergerakan dan pembukaan semula sempadan negeri.\nIkan bilis atau nama saintifiknya, Engraulidae terdiri daripada 140 spesies yang boleh ditemukan di Lautan Atlantik, Lautan Hindi, Lautan Pasifik, Laut Hitam, dan Laut Mediteranean.\nIkan bilis dikelaskan sebagai ikan berminyak. Ikan berminyak ialah spesies ikan dengan minyak dalam tisu lembut dan di rongga coelom di sekitar usus. Filetnya mengandungi minyak hingga 30% walaupun jumlah ini mungkin berbeza antara spesies. Ikan berminyak termasuklah ikan pakan kecil seperti sardin, ikan hering dan ikan bilis, ikan pelagik lain yang lebih besar seperti salmon, trout, tuna, ikan todak, dan ikan tenggiri.\nPenulis pulang ke Kuala Lumpur dengan sebuah kotak kecil yang berisi beberapa kilogram ikan bilis dan ikan masin yang dibungkus rapi. Penulis gembira kerana dalam kunjunganpada kali ini, penulis dapat membawa pulang buah tangan istimewa. \u00a0Labuan \u00a0bukan hanya coklat, tetapi juga hasil marinnya." "Kita Bertanggungjawab terhadap Alam Sekitar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Kebangsaan disambut pada 21 Oktober setiap tahun. Tema sambutan HASN pada tahun ini ialah \u201cAlam Sekitar Tanggungjawab Bersama\u201d.\nHASN dijenamakan semula oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) berasaskan sambutan Hari Alam Sekitar Malaysia dan Minggu Alam Sekitar Malaysia pada tahun 2015.\nHASN Peringkat Kebangsaan yang diadakan pada hari ini dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, YB Dato\u2019 Seri Amirudin Shari. Turut menghadiri majlis perasmian ini ialah Menteri KASA, YB Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.\nHASN Peringkat Kebangsaan bertujuan meraikan semangat kecintaan kepada alam sekitar. Terdapat tiga program utama sambutan HASN pada tahun ini, iaitu Program Plasticbuster, Pengumpulan Buangan Elektrikal dan Elektronik (e-Waste) dan Program 1 Rakan Alam Sekitar (RAS) 1 Pokok.\nProgram Plasticbuster merupakan inisiatif warga KASA sebagai agen perubahan untuk memberikan kesedaran agar masyarakat menghindari penggunaan plastik sekali guna di pejabat kerajaan selaras dengan Pelan Hala Tuju Malaysia ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018\u20132030.\nPengumpulan Buangan Elektrikal dan Elektronik (e-Waste) merupakan program teras kedua HASN yang digerakkan melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS). JAS mengambil inisiatif dengan menetapkan hari Sabtu terakhir pada setiap bulan sebagai hari pengumpulan e-Waste di seluruh negara bagi proses pengumpulan yang lebih sistematik dan selamat.\nProgram ini menyasarkan sejumlah 800 metrik tan e-Waste untuk dikumpulkan. Sementara itu, Program 1 Rakan Alam Sekitar (RAS) 1 Pokok adalah satu daripada usaha KASA ke arah menjayakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dalam tempoh lima tahun.\nSelain tiga program utama tersebut, sambutan HASN Peringkat Kebangsaan pada tahun ini turut dimeriahkan dengan pelbagai program lain seperti webinar dengan pelbagai tajuk perbincangan, antaranya termasuklah \u201cAlam Sekitar Tanggungjawab Bersama\u201d, \u201cPengurusan Air Tasik Sebagai Sumber Bekalan Air\u201d, \u201cDiskusi Menyuntik Minda Belia Cakna Alam Sekitar\u201d, Pertandingan Esei Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLAAS), Malam Deklamasi Puisi Alam Sekitar, RAS Cakna Sungai, dan lain-lain. JAS negeri di seluruh negara turut mengadakan pelbagai program dan pertandingan bagi memeriahkan sambutan HASN Peringkat Kebangsaan pada tahun ini.\n(Sumber gambar: Facebook KASA)" "Buku Perubatan dan Kesihatan dalam Bahasa Melayu Terhad\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cBuku perubatan dan kesihatan dalam bahasa Melayu amat terhad kerana kebanyakan penulisan buku dalam bidang ini adalah dalam bahasa Inggeris. Hal ini menyebabkan masyarakat di negara ini tidak dapat memanfaatkan buku dalam bidang perubatan dengan sepenuhnya.\u00a0 Oleh hal yang demikian, para ahli akademik perlu bertanggungjawab untuk memulakan projek penulisan buku sama ada buku ilmiah, buku umum, ataupun novel, agar masyarakat dapat menikmati penulisan sains dan perubatan dalam bahasa Melayu,\u201d kata Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi dan Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2017 dalam program \u201cSyarahan Perdana: Mendaulatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu dalam Bidang Sains Perubatan dan Kesihatan\u201d yang diadakan secara dalam talian pada hari ini.\nMenurut Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain, faktor utama yang mendorong beliau untuk menulis buku atau artikel dalam bidang perubatan dan kesihatan ialah pesakit. Hal ini demikian kerana pada ketika itu tidak ada buku yang boleh dibaca oleh masyarakat umum, khususnya pesakit beliau untuk memahami masalah atau penyakit yang dihadapi. Oleh itu, beliau beriltizam untuk membantu para pesakit beliau melalui penulisan.\nNik Hazlina turut berdepan dengan pelbagai cabaran untuk menghasilkan sesebuah penulisan. Kerjaya beliau sebagai seorang doktor lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris berbanding dengan bahasa Melayu. Penulisan maklumat dalam bahasa Melayu agak sukar. Hal ini demikian kerana kebanyakan istilah perubatan ditulis dalam bahasa Inggeris dan perlu diterjemahkan dengan tepat. Kepakaran untuk menterjemahkan sesuatu istilah itu sangat diperlukan dan mengambil masa yang agak lama.\nTambah beliau, \u201cPensyarah atau pakar dalam bidang perubatan dan kesihatan berbelah bahagi untuk menulis. Hal ini demikian kerana mereka kurang berkeyakinan untuk menulis karya kreatif seperti penulisan novel atau karya sastera yang lain. Mereka berfikiran sukar untuk mendapat ilham kerana pemikiran mereka lebih menjurus kepada fakta.\u201c\nBeliau turut mengimbau kenangan tentang kunjungan Dewan Bahasa dan Pustaka ke Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk memberikan ceramah tentang kaedah penulisan buku yang betul. Kunjungan tersebut\u00a0 menjadi titik tolak kepada beliau dan rakan-rakan beliau untuk menulis buku dalam bidang perubatan dan kesihatan. Mereka berjaya menerbitkan beberapa buah buku yang mengupas pelbagai isu\u00a0 , antaranya termasuklah isu sosial, penderaan, kekeluargaan, penyakit, dan sebagainya.\nTambah beliau, \u201cTerdapat dua buah novel dan sebuah antologi cerpen yang bertemakan perubatan dan kesihatan yang berjaya diterbitkan, iaitu Cinta Nan Bersemi Kembali, Isabella Adriani dan Isteriku 46 XY.\u201c\nPenerbitan novel dan cerpen tersebut membuktikan bahawa pakar perubatan juga mampu menghasilkan karya kreatif dalam bahasa Melayu. Pada tahun ini, beliau dan rakan-rakan beliau berjaya menghasilkan cerpen yang bertemakan dunia perubatan, iaitu Suamiku 47 XXY.\nNik Hazlina\u00a0 turut terlibat dengan penyeliaan dan pengajaran program keluarga angkat untuk pesakit yang menghadapi masalah fibroid dan endometriosis. Beliau juga terlibat dalam pelbagai penyelidikan, satu daripadanya ialah penyelidikan berkenaan kacip fatimah. Berdasarkan hasil penyelidikan yang diperoleh, beliau berusaha menerbitkan buku dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami berserta gambar yang menarik bagi memberikan penjelasan yang lebih mendalam tentang fakta saintifik yang ingin disampaikan.\nYakinlah bahawa bahasa Melayu boleh diketengahkan dan didaulatkan sebagai bahasa ilmu untuk bidang sains perubatan dan kesihatan. Ahli akademik harus memilih bahasa Melayu sebagai wahana penulisan dalam penyelidikan, penerbitan, pengajaran, dan khidmat ikhtisas kepada masyarakat pelbagai bangsa dan peringkat umur. Kelestarian ekosistem pembangunan ilmu negara dapat dikekalkan dan pemindahan ilmu tinggi di menara gading dapat disalurkan kepada masyarakat awam." "Seminar Penulisan Sains Popular WARAK PAPISMA Dapat Sambutan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKubang Kerian \u2013 Exco Wanita, Remaja dan Kanak-Kanak (WARAK), Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia yang juga dikenali sebagai PAPISMA, berjaya\u00a0 menganjurkan Seminar Penulisan Majalah yang mendapat sambutan hebat dalam kalangan peserta dari seluruh negara.\nSeminar melalui aplikasi Zoom itu berlangsung dari pukul 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari. Seminar Penulisan Majalah dihadiri oleh kira-kira 48 orang peserta yang terdiri dari pelbagai latar belakang, antaranya termasuklah pelajar Institut Pengajian Tinggi, guru, tentera, suri rumah, pensyarah, doktor, doktor gigi, dan pakar perubatan dan pergigian.\nObjektif seminar tersebut adalah untuk memberikan pengetahuan dan pendedahan kepada para peserta mengenai penulisan popular, seterusnya menggalakkan peserta agar menulis dan menghantar penulisan mereka untuk pertimbangan majalah yang berkaitan.\nSeminar yang dirasmikan oleh Ketua Jabatan Penulisan dan Penerbitan, Exco WARAK PAPISMA, Dr. Aspalilah Alias menampilkan dua orang panel, iaitu Ritah Yahaya dan Mohd Faizal Aziz. Ritah Yahaya (Editor Majalah Dewan Kosmik) dan Mohd Faizal (Ketua Editor Majalah Sains (portal)), berkongsi tips dan pengalaman dalam bidang masing-masing untuk membantu para peserta seminar menghasilkan penulisan sains popular dalam Dewan Kosmik dan MajalahSains.com.\nPerkongsian ilmu dan panduan penulisan dipertingkatkan antara panel dengan para peserta dalam sesi soal jawab. Sesi tersebut dikendalikan oleh Profesor Madya Dr. Norhayati Luddin, Ketua Unit Program dan Pensyarah Kanan dan Konsultan Prostodontik, yang berperanan sebagai moderator dan pengacara majlis." "Hala Tuju Penyelidikan dan Pembangunan Nanoteknologi Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNano Kebangsaan (NanoKEB) merupakan program tahunan yang diadakan sejak tahun 2015 untuk menghimpunkan para penggiat nanoteknologi dengan tujuan berkongsi pengetahuan dan maklumat perkembangan pembangunan nanoteknologi negara melalui bengkel dan seminar teknikal serta sesi libat urus.\nNanoKEB pada tahun ini dianjurkan secara maya oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC).dari 23 Oktober 2021 hingga 27 Oktober 2021. Manakala, NanoMalaysia Berhad, Institut of Microengineering and Nanoelectronics (imen) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Malaysia Nanotechnology Association (MNA), NANOVerify, Standard and Industrial Research Institute of Malaysia (SIRIM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula bertindak sebagai penganjur bersama NanoKEB 2021.\nTujuan penganjuran NanoKeb adalah untuk berkongsi pengetahuan dan maklumat mengenai pembangunan nanoteknologi negara, menggalakkan perbincangan dan libat urus berkaitan dengan isu dan hala tuju penyelidikan dan pembangunan nanoteknologi dan medium kesedaran mengenai nanoteknologi kepada masyarakat, terutamanya pelajar universiti dan sekolah.\nProgram secara maya ini menganjurkan pelbagai aktiviti, antaranya termasuklah pameran teknikal maya, seminar pengkomersialan nanoteknologi, seminar industri nanoteknologi, tayangan video pendek finalis Pertandingan Adiwira Nano 2021, bengkel\u00a0 pembangunan pelan tindakan dasar dan strategi atau pelan halatuju teknologi dan produk nanoteknologi, seminar teknikal nanokeselamatan 2021, simposium NanoSym 2021, seminar rangkaian makmal nanoteknologi kebangsaan 2021 (RMNK2021), video pembentangan akhir cadangan penyelidikan Pertandingan Olympiad Nanotekonologi Malaysia (ONM) 2021, dan bacaan esei Peserta Pertandingan Esei Nanoteknologi (PENT) 2021.\nPara pengunjung boleh melayari laman web\u00a0 NanoKeb (www.nanokeb.com) untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dengan program ini.\n(Sumber: Facebook MOSTI)" "Minyak Sawit Berkualiti Melalui Rawatan Efluen\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPokok kelapa sawit mengeluarkan dua jenis minyak, iaitu minyak sawit mentah dan minyak isirung kelapa sawit mentah. Proses pengekstrakan minyak sawit, antaranya termasuklah penekanan, pensterilan, pencernaan, pelucutan, pembersihan, dan pengeringan vakum menggunakan air yang sangat banyak. Oleh itu, industri minyak sawit mempunyai impak yang besar terhadap alam sekitar, terutamanya di Malaysia.\nProses pengekstrakan minyak daripada buah kelapa sawit akan mengakibatkan terhasilnya air buangan sisa akhir efluen kilang minyak sawit atau palm oil mill effluent (POME) ke dalam sistem saliran. Sebanyak 44 juta tan POME dihasilkan di Malaysia dan angka tersebut dijangka akan meningkat setiap tahun. POME mengandungi komponen yang tidak larut dalam air seperti buah kelapa sawit dan bahan termendak seperti gentian kelapa sawit dan minyak.\nKehadiran minyak dan gris menyebabkan POME menjadi asidik dan bahan pencemar kerana sukar diuraikan. Minyak merupakan masalah utama dalam rawatan biologi sisa POME. POME bersifat panas dan berasid sekitar pH 4 dan pH 5. POME berwarna perang likat dan mempunyai mendakan.\nRawatan POME dibangunkan sejak sedekad yang lalu. Teknologi rawatan POME pada masa ini banyak memfokuskan kaedah biologi untuk mengurangkan kehendak oksigen biokimia atau Biochemical Oxygen Demand (BOD) dan jumlah karbon organik.\nKebanyakan proses biologi tidak dapat menguraikan warna dalam POME. Kaedah yang biasa digunakan ialah sistem takungan kolam, antaranya termasuklah penyejukan, anaerobik, aerobik, fakultatif, dan kolam alga.\nHasil kajian membuktikan bahawa warna efluen sukar dirawat kerana sebatian fenol dalam POME. POME memberikan kesan yang buruk pada alam sekitar \u2013 tanah, air dan hidupan akuatik. Walaupun POME boleh dibiodegradasi kerana kehadiran sisa minyak yang masih wujud dalam air tersebut, tetapi POME perlu dirawat terlebih dahulu kerana keadaannya yang berasid dan mempunyai nilai BOD yang tinggi.\nPara penyelidik di Lembaga Minyak Sawit Malaysia atau Malaysian Palm Oil Board (MPOB) berjaya mencipta teknologi mesra alam untuk merawat POME dengan menggunakan biojisim tempurung kelapa sawit. Biojisim tempurung kelapa sawit digunakan sebagai sumber untuk menghasilkan karbon teraktif.\nTeknologi baharu yang menggunakan biojisim tempurung kelapa sawit ini selaras dengan keperluan kilang sawit yang diwajibkan bagi merawat POME berdasarkan peraturan ketat Jabatan Alam Sekitar dan syarat pelesenan MPOB.\nTeknologi baharu ini diharapkan dapat meningkatkan imej industri sawit dengan penghasilan minyak sawit yang berkualiti tanpa mencemarkan alam sekitar. Pengeluaran minyak sawit Malaysia perlu lestari dan mampan bagi memastikan alam sekitar tidak terjejas. MPOB sangat komited terhadap tanggungjawab mereka, yakni memastikan bahawa setiap titisan minyak sawit keluaran Malaysia diperakui kelestariannya.\n(Sumber:\u00a0Dewan Kosmik,\u00a0Oktober 2021)" "Malaysia di Tangga ke-10 Vaksinasi Penuh Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Berdasarkan aplikasi penjejak vaksinasi New York Times, Malaysia berada di kedudukan ke-10 di dunia dengan 77% penduduknya mendapat vaksin sepenuhnya hari ini, sekali gus telah mengatasi negara seperti Tanah Besar China, Ireland, Denmark, Uruguay, dan Kanada.\nMenurut aplikasi penjejak itu, Emiriah Arab Bersatu menduduki tempat pertama di dunia dengan 89% penduduknya telah menerima vaksin sepenuhnya. Diikuti dengan Portugal sebanyak 87%, Malta (85%), Singapura (82%), Chile (81%), Kemboja (80%), Sepanyol (79%), Qatar (78%), dan Iceland (77%).\nKetua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Dato\u2019 Dr. Anas Alam Faizli mengucapkan tahniah kepada Malaysia kerana berada di kedudukan ke-10 bagi pencapaian vaksinasi penuh dunia dalam hantaran Facebook beliau.\nBerdasarkan aplikasi penjejak vaksinasi New York Times mengikut negara, Malaysia telah menduduki tempat ke-10 di dunia untuk peratusan vaksin sepenuhnya. Tahniah, Malaysia!\nMalaysia telah memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sejak 24 Februari 2021. Para petugas barisan hadapan yang terdiri daripada anggota sektor perubatan dan kesihatan serta anggota keselamatan telah menerima suntikan pertama.\nHingga hari ini, laman sesawang COVIDNOW menunjukkan bahawa 50 402 399 vaksinasi COVID-19 telah diberi dengan 24 552 038 orang telah diberi vaksin sepenuhnya." "Pusat Sains Negara Anjur Festival PSN SciFest Secara Maya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Festival PSN SciFest (VPSF 2021) pada tahun ini dianjurkan secara maya dari 10 November 2021 hingga 16 November 2021 berikutan wabak pandemik COVID-19 yang masih melanda negara kita. Festival ini merupakan kemuncak kepada inisiatif pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) oleh Pusat Sains Negara (PSN) yang diadakan secara tahunan sejak tahun 2011.\nSelain itu, program ini juga diadakan bersempena dengan Hari Pusat Sains dan Muzium Sains Sedunia yang disambut secara global pada 10 November setiap tahun. Pada tahun ini, PSN menyasarkan penyertaan orang ramai dari pelbagai latar belakang sosial, termasuklah pelajar sekolah, pelajar universiti, ibu bapa, pendidik, dan semua lapisan masyarakat umum.\nVPSF 2021 yang bertemakan \u201cSTEM for a Better Tomorrow\u201d memfokuskan peri pentingnya pembudayaan STI melalui Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) dalam meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat pada masa ini dan pada masa hadapan.\nObjektif VPSF 2021 pula adalah untuk memberi kesedaran terhadap kepentingan STI kepada masyarakat, memudahkan penyampaian STI melalui pelbagai kaedah penyampaian dan juga komunikasi sains serta menyokong Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN, 2021-2030) dengan usaha STI dalam kalangan masyarakat melalui aktiviti pembelajaran sains bukan formal di PSN.\nPSN menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran khas, pertandingan, bengkel dan ceramah santai yang sesuai untuk seisi keluarga secara maya sepanjang festival tersebut berlangsung. Antara bengkel STEM secara maya yang diadakan secara langsung oleh PSN adalah seperti \u201cFun with DIY Science Project\u201d, \u201cWeather Around Us\u201d, Inovasi Pendidik dan \u201cNature Secret\u201d. Festival ini juga menyediakan pelbagai program demonstrasi sains seperti \u201cFuse and Fission Element\u201d, \u201cDino Show\u201d dan banyak lagi program lain. Masyarakat juga berpeluang untuk menyertai pelbagai kuiz sepanjang VPSF 2021 berlangsung.\nMenteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba dijadualkan akan menyempurnakan majlis penutupan VPSF 2021 pada 16 November 2021, pukul 3.00 petang dan akan disiarkan secara langsung melalui Facebook dan YouTube PSN. Dalam majlis tersebut juga akan diumumkan pemenang pertandingan \u201cNational Tinkering Challenge 2021\u201d dan pelancaran galeri \u201cTinker Garage\u201d yang merupakan satu daripada tarikan baharu di PSN, Kuala Lumpur. Maklumat lanjut boleh layari pautan di www.psn.gov.my/virtualscifest." "Ayat Aktif Transitif\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAdakah ayat di bawah ini gramatis atau tidak gramatis?\n1. Kamal menerangkan kepada gurunya tentang sebab dia tidak hadir semalam.\n2. Amir saya tegah daripada melakukan kesalahan itu." "Bahasa Melayu dalam Buku Am pada Abad ke-21\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Kangsar \u2013 Penasihat dan Editor Umum, PTS Media Grup, Profesor Emeritus Abdullah Hassan membicarakan dengan panjang lebar tentang hal membina kepustakaan dalam bahasa Melayu, menulis buku ilmu, adaptasi, dan terjemahan menerusi kertas kerjanya yang berjudul \u201cMembina Kepustakaan dalam Bahasa Melayu\u201d dalam seminar anjuran Lembaga Pembangun Sastera (LEPAS) Perak di Dewan Kenanga, Hotel Casuarina Kuala Kangsar, pada 27 Mac 2022.\nOleh sebab banyak terlibat dalam bidang perbukuan, Profesor Abdullah banyak mengaitkannya dengan penggunaan bahasa Melayu yang murni menerusi kertas kerjanya yang dibahagikan kepada tiga perkara, iaitu \u201cmenulis buku am\u201d, \u201cmula menulis\u201d, dan \u201ckemahiran kecekapan dan alat baharu\u201d.\nDalam \u201cmula menulis\u201d, antara perkara yang menarik berkaitan dengan bahasa Melayu yang disentuh oleh Profesor Abdullah termasuklah penggunaan ayat pendek, mudah, selapis, ayat gabungan, kata kerja, perkataan konkrit menggantikan adjektif dan adverb, perkataan perlu sahaja, perkataan biasa, perkataan pendek, perkataan Melayu, perkataan Melayu asli, analogi (perbandingan) dan berhemat menggunakan perkataan, serta mengelakkan ayat pancangan, bentuk per-.-an, peng-.-an, ke-.-an, adjektif dan kata penguat, kata adverb (sifat kerja), kata nama abstrak, dan ungkapan negatif dan pasif.\nDalam \u201ckemahiran kecekapan dan alat baharu\u201d yang dikaitkan dengan bahasa Melayu pula, beliau turut menyentuh tentang kemahiran baharu, kecekapan dan alat \u2013 kemahiran komunikasi: kolerasi prestasi dengan bahasa, Heskett & Schlesinger (1966) mengenal pasti enam ciri bahasa yang berlainan, tahap kemahiran komunikasi pelajar Melayu, bahasa tinggi, bahasa Melayu rendah seorang pegawai tinggi, bahasa Melayu tinggi \u2013 bahasa Inggeris rendah dan tinggi, bahasa terhad dan bahasa berkembang, kemahiran membaca: apa perlunya statistik buku dan penduduk, hal yang pelajar baca, kemahiran berfikir: falasi pengitlakan, serta kemahiran komputer dan animasi digital: tracker dan comment; kamus, tesaurus dan ensiklopedia dan cabaran masa depan.\nSeminar yang bertemakan \u201cBahasa, Budaya, dan Adab Adat Istiadat Kesultanan dan Bangsa Melayu pada Abad ke-21\u201d itu merupakan seminar kedua anjuran LEPAS turut menampilkan Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhamad dari Universiti Putra Malaysia, dan Dr. Kamaruddin Yaakob \u00a0dari Universiti Sultan Azlan Shah sebagai ahli panel. Seminar ini anjuran bersama LEPAS dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Majlis Kebudayaan Negeri Perak, serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.\nProfesor Madya Dr. Salmah pula membentangkan kertas kerjanya iaitu, \u201cDiplomatik Kesultanan Melayu: Adab Adat Istiadat dalam Kehidupan Raja-Raja Melayu\u201d (dimudahcarakan oleh Mohd. Fauzi Ramli), sementara Dr. Kamaruddin pula dengan kertas kerjanya iaitu, \u201cKewujudan Budaya Bangsa Melayu Dulu dan Kini: Budaya yang Hilang dan Budaya yang Mendatang\u201d (Mohd. Shuhaimi Zubir sebagai pemudah cara).\nPerasmian Seminar Bahasa, Budaya, dan Adab Adat Istiadat Kesultanan dan Bangsa Melayu pada Abad ke-21 telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Dato\u2019 Nolee Ashilin Dato\u2019 Mohammed Radzi. Penutupannya pula oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Manong, Mohamad Zuraimi Razali, yang juga Ketua Dua LEPAS.\nMajlis perasmian seminar turut diserikan oleh dendangan syair daripada Faridah Abu Seman (guru Sekolah Kebangsaan Kati), dan pencak silat Ilham oleh Rosli Hasnan (Pertubuhan Silat Gasak). Yang turut hadir ialah Pengarah DBP Wilayah Utara, Rahimi Arifin; Setiausaha Dua GAPENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad; Ketua Satu LEPAS, Abd. Rashid Ahmad Rafie; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Zulqarnain Mohamad; dan Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Zulhisham Ahmad Shukori." "Ke Arah Teknologi Revolusi Industri 4.0: Aplikasi LCC Padi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Jabatan Pertanian Malaysia telah memperkenalkan satu aplikasi yang boleh membantu petani dalam mengawal dan mengoptimumkan penggunaan baja kimia, iaitu aplikasi Carta Warna Daun atau Leaf Colour Chart (LCC) Padi. Aplikasi ini juga telah digunakan oleh negara-negara pengeluar padi dunia. Aplikasi yang dibangunkan oleh International Rice Research Institute (IRRI) ini bertujuan untuk mengukur keperluan nitrogen dalam tanaman padi mengikut keperluan di sawah.\nSelain itu, intensiti warna daun sangat berkait rapat dengan kandungan klorofil dan status nitrogen daun. Inovasi aplikasi LCC Padi ini diilhamkan apabila ramai petani yang berminat untuk mendapatkan dan membeli LCC untuk mengukur tahap nitrogen dalam daun di sawah masing-masing.\nObjektif aplikasi LCC Padi ini dicipta adalah untuk memudahkan petani dan pegawai di lapangan mendapatkan data status nitrogen daun padi serta mengetahui tahap keperluan baja dan membantu petani mengurangkan penggunaan baja nitrogen berpandukan status semasa nitrogen pada daun.\nPenggunaan baja yang berlebihan boleh menyebabkan padi mudah diserang oleh perosak dan pelbagai penyakit. Situasi ini bukan sahaja mengakibatkan hasil padi tidak dapat dituai, malah akan merugikan petani.\nSeterusnya, aplikasi LCC Padi turut dilengkapi dengan arahan penggunaan yang menggunakan dwibahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Arahan penggunaannya yang mudah diikuti secara tidak langsung menyebabkan keputusan daripada pengambilan data dapat diperoleh dengan pantas berbanding dengan kaedah lama.\nAplikasi LCC Padi adalah percuma dan boleh dimuat turun melalui aplikasi Google Play Store di pautan https://play.google.com/store/apps/details?id=my.gov.perak.jpp.lcc&hl=en&gl=US\n(Sumber video: Jabatan Pertanian Malaysia)" "Daftar Dos Penggalak Melalui Laman Sesawang ProtectHealth\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Berdasarkan kenyataan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), setiap individu yang layak adalah digalakkan untuk mendapatkan suntikan dos penggalak (booster dose). Tindakan ini bertujuan untuk memastikan tahap perlindungan yang optimum dapat dicapai terhadap jangkitan COVID-19. Pelaksanaan dos penggalak telah dimulakan di seluruh negara dengan menggunakan vaksin Comirnaty.\nPemberian dos penggalak dilakukan secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Menurut KKM, objektif pemberian dos penggalak ini adalah untuk memastikan tempoh perlindungan yang optimum diperoleh oleh penerima vaksin COVID-19 di Malaysia.\nSementara itu, pelaksanaan pemberian dos penggalak bagi penerima vaksin Sinovac yang layak dilakukan secara berfasa di seluruh negara. Pemberian dos penggalak ini diterajui oleh pengamal perubatan swasta di bawah penyelarasan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd..\nIndividu yang layak akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera dan melalui pesanan ringkas kepada nombor telefon yang berdaftar bagi individu yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera. Kini, individu yang layak untuk menerima dos penggalak juga boleh membuat pendaftaran melalui laman sesawang protecthealth.com.my dan ikuti langkah pendaftaran seperti yang berikut:\n(Sumber video: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia)" "Sindrom Alice In Wonderland: Antara Realiti dan Fantasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSindrom Alice in Wonderland (AWS) ialah keadaan neuropsikologi yang menyebabkan gangguan persepsi pada seseorang. Sindrom AWS juga dikenali sebagai sindrom Todd atau dismetropsia.\nSindrom AWS sangat jarang berlaku. Sindrom ini boleh menyerang kanak-kanak dan dewasa. Individu yang menghidap sindrom ini sukar mentafsir objek atau keadaan yang dilihat oleh mata sehingga memberikan satu isyarat yang kompleks. Penghidap sindrom AWS akan merasakan saiz tubuh dan anggota badan mereka lebih besar atau lebih kecil daripada keadaan sebenar. Penghidap AWS juga merasakan objek di sekeliling mereka seolah-olah bergerak atau berada pada kedudukan yang lebih jauh atau lebih dekat dengan mereka.\nSindrom AWS telah ditemui oleh Dr. John Todd, pakar psikiatrik Britain pada tahun 1950. Beliau mendapati gejala sindrom ini sangat menyerupai watak Alice Liddell dalam novel Lewis Carroll berjudul Alice\u2019s Adventures in Wonderland.\nSindrom AWS boleh mempengaruhi pelbagai deria termasuklah rasa, bau, penglihatan, sentuhan dan pendengaran. Penghidap sindrom AWS lebih cenderung untuk mengalami migrain. Sebilangan penyelidik dan doktor percaya bahawa sindrom AWS ialah aura atau petunjuk awal sebelum berlakunya serangan migrain. Terdapat juga sekumpulan pakar percaya bahawa sindrom AWS ialah sejenis migrain yang jarang berlaku.\nTerdapat empat jenis persepsi visual utama yang dialami oleh pesakit AWS. Persepsi visual pertama ialah mikropsia. Mikropsia merujuk kepada keadaan yang penghidap AWS merasakan saiz badan atau objek di sekeliling mereka semakin kecil. Persepsi visual yang kedua pula ialah makropsia. Makropsia ialah persepsi visual yang menunjukkan saiz badan atau objek di sekeliling mereka kelihatan semakin besar. Kedua-dua jenis persepsi visual ini ialah simptom biasa bagi penghidap sindrom AWS.\nPersepsi visual ketiga bagi penghidap sindrom AWS ialah pelopsia. Pelopsia ialah keadaan yang penghidap AWS merasakan objek di sekeliling mereka kelihatan semakin besar dan lebih dekat daripada jarak yang sebenarnya. Manakala jika keadaan tersebut berlaku sebaliknya, keadaan tersebut dikenali sebagai teleopsia. Teleopsia ialah keadaan yang menunjukkan bahawa objek objek di sekeliling penghidap sindrom AWS semakin kecil dan lebih jauh mereka.\nPenghidap sindrom AWS juga merasakan masa bergerak lebih pantas atau lebih perlahan. Selain itu, mereka juga akan mengalami gangguan pendengaran seperti suara yang realitinya perlahan, namun didengari kuat dan mengganggu. Penghidap sindrom ini juga tidak dapat mengawal anggota badan dan memberikan tindak balas secara tidak sengaja. Ini secara tidak langsung mempengaruhi cara penghidap sindrom AWS bergerak dan berjalan.\nFaktor utama berlakunya sindrom AWS masih menjadi tanda tanya. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa keadaan yang dikaitkan dengan sindrom AWS, iaitu migrain, jangkitan pengambilan dadah psikotropik, dadah terlarang, ketumbuhan dalam badan dan genetik.\nSehingga hari ini, tiada satu ujian khusus digunakan untuk mendiagnos sindrom AWS. Walau bagaimanapun, beberapa ujian boleh dijalankan yang dapat membantu dalam mengenal pasti sindrom ini. Antaranya ialah melalui prosedur imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI), pemantauan aktiviti elektrik di otak melalui elektroensefalogram (EEG) dan ujian darah.\nRawatan sindrom AWS lebih bersifat sokongan dan tidak mempunyai rawatan tertentu. Kebiasaannya, penghidap sindrom AWS akan menjalani terapi supaya mereka berada dalam situasi yang sebenar, selain diberi ubat-ubatan tertentu untuk mengurangkan halusinasi dan tekanan. Penghidap sindrom AWS juga sentiasa diingatkan bahawa gejala sindrom AWS tidak berbahaya dan boleh dirawat.\n\u00a0\nPenulis ialah Felow Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK), Universiti Teknologi MARA dan Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi MARA." "Semarakkan Budaya STEM dengan Techlympics\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Malaysia Techlympics 2021 yang dilancarkan pada 10 November 2021 merupakan insiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam usaha membudayakan sains, teknologi dan inovasi. Program ini diadakan secara besar-besaran dan berperingkat di seluruh negara bagi mendorong bakat muda dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).\nObjektif utama Techlympics adalah untuk memupuk minat generasi muda terhadap STEM melalui pendekatan yang lebih menyeronokkan; membudayakan belia dengan minda; set kemahiran dan aksi yang menghasilkan inovasi yang lebih bermakna dan berimpak tinggi selain melahirkan generasi penyelesai masalah dan tekno-usahawan masa depan. Program ini juga bertindak sebagai platform dalam usaha mengenal pasti inovasi belia muda yang boleh dikomersil dan dimajukan pada masa akan datang.\nRangka kerja Techlympics mengandungi tiga komponen utama iaitu Connect, Compete dan Celebration. Techlympics menggalakkan interaksi sesama belia dengan berkongsi aspirasi, solusi, idea dan saranan teknikal untuk merancak minat terhadap STEM. Inisiatif ini juga menganjurkan pelbagai platform untuk warga techlympiad muda bersaing secara sihat dan mengambil peluang mencapai matlamat STEM untuk manfaat manusia sejagat. Bukan itu sahaja, Techlympics menyambut pelbagai idea, solusi dan kemahiran para techlympiad yang pasti akan melakar masa depan negara negara menggunakan STEM.\nMelalui program ini, obor Techlympics turut diperkenalkan sebagai metafora semangat membara Malaysia dalam usaha memperkasa STEM dalam kalangan generasi muda negara. Pelbagai aktiviti telah dirangka dan direka di bawah Techlympics yang berlandaskan bidang keutamaan Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (MySTIE) yang dibangunkan pihak MOSTI iaitu Sains, Kejuruteraan Pengkomputeran & Pengkomputeran Mikro, Internet Benda (IoT), Robotik, Dron, Matematik, Reka Bentuk Kreatif dan Animasi serta Percetakan dan Pembangunan 3D.\nSebagai permulaan, 12 program Techlympics dilaksanakan bermula dari 11 November 2021 hingga 10 Disember 2021 yang melibatkan sembilan bidang pemfokusan. Antaranya adalah program kenderaan masa hadapan, kuiz sains interaktif, ilmu robotik secara dalam talian dan lain-lain lagi. Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato\u00e2\u20ac\u2122 Sri Dr. Adham bin Baba, Techlympics ialah inisiatif yang menyokong para inovator muda melahirkan cetusan idea dan prototaip yang berteraskan teknologi Revolusi Industri 4.0. Tambah beliau, STEM ialah bekalan penting dalam membangunkan bakat yang berkemahiran tinggi untuk menyokong pertumbuhan ekonomi berteknologi tinggi masa hadapan.\nTechlympics berharap untuk mendekati lebih 1,000,000 belia yang melibatkan pelajar dari sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan kumpulan belia bebas. Sehubungan dengan itu, rakyat Malaysia yang berusia dalam lingkungan 7 hingga 30 tahun bolehlah melayari laman web www.techlympics.my dan laman Facebook rasmi Malaysia Techlympics untuk menyertai segala aktiviti yang dianjurkan di bawah inisiatif ini." "Delegasi DBP ke Jejantas Rimba, FRIM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKepong \u2013 \u201cJejantas Rimba yang dibina pada tahun 2019 dan berjaya disiapkan dalam tempoh 12 bulan ini adalah bertujuan untuk memberikan peluang kepada penduduk, terutamanya di Lembah Klang menikmati keindahan alam sekitar, hutan, pokok-pokok dan tumbuhan yang berada di persekitaran hutan. Di samping itu, tujuannya adalah untuk memberikan kefahaman kepada generasi muda tentang kepentingan hutan,\u201d kata Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr. Ismail Parlan dalam Majlis Penyerahan Majalah Dewan Kosmik Bil. 12 2021 hari ini.\nMenurut Dr. Ismail Parlan, Jejantas Rimba ini dibina dengan menggunakan dana yang diperoleh daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. Pada mulanya, cadangan untuk membuka Jejantas Rimba ini adalah pada tahun 2020 tetapi disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang dihadapi di seluruh dunia, termasuklah negara ini, pihak FRIM hanya dapat membukanya selama 35 hari pada bulan Ogos 2020, dan telah membukanya kembali pada 16 September 2021 bersempena dengan Pelan Pemulihan Negara Fasa Keempat.\nJejantas Rimba yang terletak di Taman Botani Kepong dibina dengan menggunakan perancah aluminium yang diperkukuh dengan tiub keluli dan kabel besi penampung. Jejantas jenis ini merupakan jejantas yang pertama di dunia, yang terdiri daripada 11 buah menara dan lapan buah jambatan dengan pelantar berketinggian antara 18 meter hingga 50 meter yang berjumlah 250 meter panjang.\nTambah beliau, para pelawat akan mendapat suatu perasaan dan pengetahuan tentang perbezaan dari segi strata-strata hutan yang ada di Malaysia, dari strata yang paling rendah hingga strata yang paling tinggi.\nSelain itu, menurut Dr. Ismail Parlan, para pelawat akan dapat melihat dua jenis pemandangan melalui Jejantas Rimba ini, iaitu pemandangan hutan dan pemandangan pembangunan Kuala Lumpur. Kini, pihak FRIM membuka Jejantas Rimba pada waktu siang, namun begitu terdapat juga perancangan untuk membukanya pada waktu malam agar masyarakat akan terus dapat menikmati keindahan alam ini.\nTambah beliau lagi, banyak pelawat yang datang ke FRIM, yakni kira-kira 500 000 orang dalam setahun dan 20% daripadanya terdiri daripada pelawat dari luar negara. Hal ini sekali gus memberikan peluang kepada pihak FRIM memberikan pengetahuan tentang hutan di Malaysia kepada warga luar negara.\nTurut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pengarah Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tuan Haji Razali Che Mat,\u00a0Ketua Editor Bahagian Majalah, DBP, Dr. Rosmani Omar dan beberapa orang pegawai DBP." "HIV dan AIDS Perlu Ditangani Segera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 \u201cMasyarakat perlu memberikan tumpuan kepada golongan yang dipinggirkan akibat HIV. Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengesyorkan agar tumpuan diperbaharui atau dilihat semula kepada negara dan populasi yang masih belum mendapat perhatian atau \u201ctercicir\u201d dalam mendapatkan tindak balas secara global terhadap isu HIV dan AIDS. Hal ini meliputi pelbagai golongan yang terpinggir di setiap negara, termasuklah populasi utama golongan yang berisiko tinggi,\u201d titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersempena dengan kempen kesedaran Hari AIDS Sedunia.\nMenurut baginda, semua pihak perlu mengembalikan semula komitmen masing-masing dalam usaha menamatkan penularan HIV. Pelbagai cabaran yang berlaku disebabkan oleh pandemik COVID-19 memerlukan usaha baharu bagi menamatkan HIV yang akan menjadi ancaman terhadap kesihatan awam menjelang tahun 2030.\nTambah baginda lagi, masyarakat perlu memahami cabaran yang dihadapi oleh golongan yang hidup dengan HIV dalam menghadapi pandemik COVID-19 ini. Oleh itu, HIV dan COVID-19 perlu ditangani segera bersama-sama.\nSementara itu, dalam kempen tersebut juga, Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Arau, Dr. Muhammad Faiz Rasmi telah menyampaikan sebuah taklimat bagi memupuk kesedaran masyarakat tentang wabak AIDS yang disebabkan oleh jangkitan HIV dengan temanya, \u201cAkhiri Ketidaksamarataan, Akhiri AIDS, Akhiri Pandemik\u201d.\nSeterusnya, dalam sesi berasingan pula, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Sirajuddin Hashim menyeru masyarakat agar meningkatkan kefahaman tentang kepentingan isu kesaksamaan dan mengekalkan kepentingan perkhidmatan HIV yang berkualiti tinggi bagi memastikan setiap golongan yang berisiko dijangkiti HIV memiliki akses yang sama kepada aktiviti pencegahan, ujian, rawatan, dan penjagaan penghidap HIV, termasuklah vaksinasi dan rawatan berkaitan dengan COVID-19.\nBerikan penjagaan yang baik, menghormati hak asasi manusia dan tanpa sebarang stigma. Pastikan kakitangan adalah terlatih dan sedar akan pencegahan dan kawalan jangkitan serta dengan menggunakan langkah yang bersesuaian. Oleh itu, lindungi keselamatan semua dan orang yang disayangi.\nBersempena dengan program yang disekalikan dengan aktiviti Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke-34 bagi tahun 2021 tersebut, Tuanku Raja Muda turut berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs bernilai RM400.00 setiap seorang dan berjumlah RM11 200.00 kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Darul Ulum, Wang Ulu, Kangar melalui amilnya, Encik Mohammad Radzi Abdullah. Turut hadir sama dalam program tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor." "Keunggulan Ilmu Falak dan Jawi Menerusi Aktiviti STEM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCabaran pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia termasuklah Malaysia semenjak awal tahun 2020 telah mendorong masyarakat melaksanakan pelbagai aktiviti kehidupan seharian dalam keadaan penjarakan fizikal dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang lebih berwaspada. Pelbagai perancangan dan pelaksanaan aktiviti mengalami penyesuaian semula dan dilaksanakan secara dalam talian mengikut kebiasaan baharu. Hal sedemikian berlaku secara ketara dalam pelbagai sektor, terutamanya dalam bidang pendidikan. Secara tidak langsung, keadaan tersebut membuka peluang kepada individu untuk menambah baik kapasiti dan kompetensi diri dengan kemahiran digital serta menjadi lebih mahir berkomunikasi secara maya di samping dapat mengurus kestabilan mental, emosi dan fizikal.\nSeiring dengan persekitaran itu, perancangan dan pelaksanaan aktiviti Program MOSTI Mentor-Mentee STEM peringkat Universiti Malaya (UM) dan Sekolah Rendah Islam Darul Ehsan (SRIDE), Subang Jaya turut mengalami penyelarasan semula pada tahun 2021. Signifikannya, penyelarasan tersebut telah membantu menyerlahkan keunggulan ilmu falak melalui aktiviti STEM, terutamanya apabila melibatkan penerapan tulisan Jawi dan karya Jawi ulama tempatan dalam aktiviti STEM.\nMenyentuh tentang aspek pengertian ilmu falak yang secara umumnya dikenali sebagai astronomi, hasil penelitian penulis sepanjang penyelidikan dan pembangunan Pintar al-Aflak bermula daripada peringkat BK065-2017 hingga peringkat GA008-2020, pengertian tersebut tidak sesuai disamakan. Hal ini dikatakan demikian kerana astronomi lebih cenderung dan berpusatkan pengalaman cerapan inderawi dan perumusan akliah insan semata-mata. Daripada perspektif yang berbeza, ilmu falak dalam pandangan sarwa Islam adalah berpusatkan sumber wahyu dan dilengkapi dengan cerapan inderawi dan kemahiran akliah. Namun begitu, pembezaan sedemikian tidaklah memutuskan keterkaitan ilmu falak dan astronomi.\nDalam perkembangan sejarah ilmu pengetahuan mengikut peradaban, pemahaman terhadap realiti angkasa raya dan segala wujudnya dalam konteks tamadun asing adalah dipengaruhi oleh pandangan sarwa tamadun terbabit. Dalam tamadun Yunani, pemahaman tersebut berakarkan mitos kedewaan dan spekulatif akal. Berbanding dengan tamadun India yang memahami realiti angkasa raya berakarkan ajaran Hindu, manakala fahaman berasaskan budaya Cina dapat dilihat dalam tamadun Cina.\nPerutusan syariah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW telah memurnikan pandangan insan terhadap hakikat angkasa raya dan alam tabii seluruhnya. Dalam konteks ilmu falak, sumbangan terpenting tamadun Islam adalah dengan menempatkan bidang ini berpusatkan wahyu yang menjunjung nilai ketauhidan, kehambaan, keadilan dan keihsanan sambil mendukung peningkatan kapasiti dan kompetensi insan dalam aktiviti saintifik yang melibatkan kemahiran mencerap, menaakul dan menghitung.\nMenyoroti sisi keunggulan ilmu falak menerusi sejarah perkembangan sains Islam, antaranya ketika era khalifah Ar-Rasyidin dalam pemerintahan Khalifah Umar bin Al-Khattab, penyusunan taqwim Hijrah dapat dilihat menjadi tanda aras penting bahawa peranan ilmu falak bukan hanya untuk tujuan ibadah semata-mata, namun turut diperluaskan untuk kegunaan dan kemudahan awam. Keunggulan ilmu falak juga terserlah dalam ketenteraan. Misalnya, semasa era khalifah Abbasiyyah dalam pemerintahan Khalifah al-Ma\u2019mun, ilmu falak begitu berkembang pesat kerana minat khalifah itu sendiri. Khalifah al-Ma\u2019mun menaungi pelbagai aktiviti ilmu falak. Salah seorang tokoh terkemuka ketika itu ialah Sanad ibn Ali. Menurut al-Biruni, Sanad ibn Ali telah dapat menghitung sudut junaman matahari ketika terlibat bersama-sama dalam kempen ketenteraan memerangi Rom Byzantin yang diarahkan oleh Khalifah al-Ma\u2019mun. Penghitungan terbabit telah memudahkan Sanad ibn Ali menghitung ukur lilit bumi dan selepas itu kaedahnya digunakan oleh al-Biruni.\nKemudian, ketika era khalifah Uthmaniyyah dalam pemerintahan Sultan Salim II dan Sultan Murad III, antara ilmuan falak dan sarjana sains yang serba mahir (polymath) terkemuka ialah Taqi al-Din ibn al-Maruf. Karya beliau bukan sahaja dalam ilmu falak, bahkan meliputi kejuruteraan, matematik, optik, mekanik dan falsafah tabii. Beliau merupakan Ketua Balai Cerap Istanbul dan telah membangunkan peralatan sfera armileri dan jam mekanikal yang telah beliau gunakan dalam cerapan peristiwa Komet Besar 1577. Berdasarkan cerapan terbabit, beliau telah memprediksi kemenangan tentera Uthmaniyyah memerangi Safavids. Ketika era Uthmaniyyah berada dalam pertengahan abad ke-19, peranan ilmu falak dalam ketenteraan begitu terserlah, terutamanya melalui dua tokoh falak Uthmaniyyah ketika itu, iaitu Mahmud Bey Hamdi dan Isma\u02bfil Effendi Mustafa. Selain itu, penterjemahan karya tokoh astronomi Perancis, iaitu J\u00e9r\u00f4me de Lalande bertajuk Abr\u00e9g\u00e9 d\u2019Astronomie ke dalam Bahasa Arab pada tahun 1808 bertajuk al-Mukhtasar fi \u02bfIlm al- Falak turut membawa kemajuan ilmu falak di Turki. Karya Lalande telah membantu memantapkan peranan ilmu falak dalam ketenteraan Uthmaniyyah, terutamanya untuk tujuan navigasi kelautan.\nBerdasarkan peranan ilmu falak dalam sejarah perkembangannya, secara ringkasnya terdapat dua matra yang berbeza. Pertama, aspek astrologi yang berkaitan dengan peramalan dan kedua, iaitu aspek saintifik yang terdiri daripada cerapan, taakulan, penghitungan dan kemampuan membangunkan instrumentasi. Aspek astrologi itu memang diketahui jelas bercanggahan dengan syariah Islam dan mestilah ditinggalkan. Walau bagaimanapun, aspek saintifik yang merangkumi cerapan, taakulan, penghitungan dan instrumentasi bukan sahaja menjadi signifikan dan diterima dalam kerangka syariah Islam yang membantu pelaksanaan aspek ibadah, aspek tersebut juga terbukti berperanan penting dalam menjaga kemaslahatan awam.\nJusteru, dalam konteks semasa, ilmu falak perlulah sentiasa dipugarkan dan STEM merupakan wadah yang paling sesuai bagi menyerlahkan peranannya dalam persekitaran kebiasaan baharu yang berhadapan dengan COVID-19. Untuk itu, bermula pada Mac hingga April 2021, Program MOSTI Mentor-Mentee STEM UM-SRIDE telah disusun semula dengan pelaksanaan bengkel bersiri pemantapan mentor yang melibatkan seramai 22 orang mentor pelajar dari Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, UM (JFU, APIUM). Siri bengkel terbabit telah dijalankan dengan matlamat untuk memantapkan kemampuan para mentor membangunkan modul STEM melalui ilmu falak dan melaksanakannya secara dalam talian. Di samping itu, aspek pembinaan semangat berpasukan, kesukarelawanan dan keusahawanan turut diterapkan secara tidak langsung. Pada akhir bengkel, para mentor telah membentuk dua pasukan yang masing-masing terdiri daripada 11 orang mentor, iaitu Pintar al-Qamar yang diketuai oleh Mohamad Luqman Hakim Mohd Noor dan Pintar al-Najm yang diketuai oleh Abdullah Faiq Irfan\u00a0 Abdullah.\n\nPasukan Pintar al-Qamar telah mengadakan Webinar STEM & Pintar al-Qamar pada 26 Mei 2021 (Rabu) dengan topik \u201cHikmah Bulan dalam Ibadah Umat Islam\u201d disampaikan oleh Muhammad Adib Hakimi Muhammad Tzauazmi dan Siti Syazwani Mustafar. Sementara itu, pasukan Pintar al-Najm telah menganjurkan Webinar STEM & Pintar al-Najm pada 2 Jun 2021 (Rabu) dengan penyampaian topik berkaitan \u201cEvolusi Bintang: Hikmah ke Atas Kehidupan Manusia\u201d yang disampaikan oleh Naimmatul Nazuha binti Bakar dan Wan Nur Ain Sabrina binti Wan Zamri. Kedua-dua webinar ini telah melibatkan penyertaan seramai 159 orang peserta daripada peringkat rendah, menengah dan pengajian tinggi.\nSesi penutupan Program MOSTI Mentor-Mentee STEM UM-SRIDE turut dilaksanakan secara dalam talian pada 14 Ogos 2021 (Sabtu) melalui Program Jawi STEM anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Persatuan STEM Kebangsaan (NSA), Pusat STEM UM, SRIDE dan Pasukan Aljawi JFU, APIUM. Ketua Pusat STEM UM, YBhg. Ir. Dr. Mas Sahidayana Mohktar bertindak sebagai penyelaras induk program, manakala YBhg. Dr. Mohammaddin Abdul Niri sebagai penyelaras kerja dan Puan Kamariah Nasir, Guru Besar SRIDE dilantik sebagai Penyelaras SRIDE.\n\nPerjalanan Program Jawi STEM berlangsung dalam dua sesi. Webinar Kebangsaan JawiSTEM dengan tema \u201cMemperkasakan Jawi Wahana STEM\u201d telah berlangsung pada sesi pagi yang melibatkan pelajar sekolah rendah sebagai sasaran khalayaknya. Webinar tersebut telah dikendalikan oleh Muhammad Adib Hakimi Muhammad Tzauazmi dan aktiviti STEM yang turut dijalankan bersama-sama para peserta. \u00a0Sesi tersebut menekankan kemahiran menaakul dan menghitung dengan penerapan elemen Jawi melibatkan kitab al-Durr al-Thamin karangan al-Syaikh Daud bin Abdullah al-Fatani yang merupakan karya ilmu aqidah Islam dan kitab Sullam al-Nayyirain fi Ma\u2019rifah al-Ijtima\u2019 wa al-Kusufain karangan al-Syaikh Muhammad Mansur bin Abdul Hamid al-Betawi, iaitu karya ilmu falak yang berkaitan dengan fenomena gerhana.\n\nPada sesi petang pula, forum yang bertajuk \u201cPotensi Jawi dalam Lapangan STEM\u201d telah diadakan. Program tersebut telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dato\u2019 Dr. Noraini Idris, Pengerusi NSA. Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dan tokoh bahasa, YBhg. Prof. Datuk Dr. Haji Awang Sariyan turut diundang untuk menyampaikan ucaptama. Turut hadir sebagai panel forum ialah YBhg. Prof. Madya. Dr. Adi Yasran Abdul Aziz, pensyarah dari Universiti Putra Malaysia dan Tuan Haji Salehuddin Haji Arshad, yang merupakan Munsyi Dewan (Jawi).\nProgram Jawi STEM yang julung-julung kalinya diadakan menyentuh tentang potensi Jawi untuk aktiviti saintifik. Secara keseluruhannya, program ini telah dihadiri oleh 420 peserta daripada pelbagai peringkat umur merangkumi pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan awam. Maklum balas yang diterima banyak membantu dalam pembaikan dan penambahbaikan modul Pintar al-Aflak. Kini terbukti bahawa Pintar al-Aflak mampu melestarikan ilmu falak dan Jawi dalam kerangka aktiviti STEM. Tidak mustahil dengan koordinasi ilmu falak, khazanah Jawi dan aktiviti STEM, Pintar al-Aflak boleh menyerlahkan semula keunggulan sains Islam untuk membantu kemajuan\u00a0 Malaysia dalam STIE, iaitu sains, teknologi, inovasi dan ekonomi." "Kekal Dingin Tanpa Bahan Penyejuk\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSuhu udara persekitaran yang semakin meningkat menyebabkan penggunaan alat penyaman udara menjadi satu keperluan untuk menghasilkan keadaan yang selesa dalam sesebuah ruang. Hampir semua alat penyaman udara yang digunakan di rumah menggunakan sistem refrigerasi mampatan wap. Secara umumnya, kesan penyejukan dalam kitaran sistem refrigerasi mampatan wap menggunakan bahan penyejuk sintetik. Selain berfungsi untuk menghasilkan kesan penyejukan, bahan penyejuk yang terbebas ke atmosfera akan mengakibatkan penipisan lapisan ozon dan pemanasan global.\nPenipisan lapisan ozon disebabkan oleh unsur radikal yang terdapat di dalam bahan penyejuk. Masalah ini hampir berjaya diatasi dengan tindakan bersepadu pelbagai sektor untuk mengurangkan kadar pelepasan bahan pemusnah ozon ke dalam atmosfera. Klorofluorokarbon dan hidroklorofluorokarbon merupakan bahan penyejuk yang mengandungi atom klorin yang boleh memusnahkan molekul ozon. Sebagai contohnya, bahan penyejuk klorofluorokarbon ialah R-12 manakala R-22 tergolong dalam kategori hidroklorofluorokarbon.\nPemanasan global berlaku kerana kewujudan gas rumah hijau secara berlebihan di dalam atmosfera. Sebahagian daripada gas rumah hijau ini disumbangkan oleh bahan penyejuk yang terbebas ke atmosfera. Sebagai contohnya, bahan penyejuk R134a dalam kategori hidrofluorokarbon mempunyai pekali potensi pemanasan global sebanyak 1300.\nOleh sebab penggunaan bahan penyejuk berpotensi untuk menyebabkan kesan buruk terhadap alam sekitar, bolehkah kita kekal dingin tanpa menggunakan bahan penyejuk? Umumnya, terdapat beberapa teknik yang boleh digunakan untuk menghasilkan kesan penyejukan. Antara teknik tersebut termasuklah sistem penyejukan termoakustik, sistem penyejukan tiub vorteks dan sistem penyejukan sinaran.\n1. Sistem Penyejukan Termoakustik\nGelombang bunyi bergerak melalui udara dengan memampatkan dan mengembangkan gas di sekitarnya. Gas yang termampat akan menghasilkan suhu tinggi, manakala gas yang mengembang akan menghasilkan suhu rendah. Prinsip ini digunakan untuk menghasilkan kesan penyejukan melalui kaedah termoakustik.\nSistem penyejukan termoakustik terdiri daripada pembesar suara, alat penukar haba, penjana semula dan tiub resonator yang mengandungi udara atau gas. Pembesar suara menghasilkan gelombang bunyi setelah menerima isyarat pada frekuensi yang tetap daripada penjana isyarat. Panjang gelombang bunyi ditentukan oleh frekuensi isyarat yang diterima oleh pembesar suara dan jenis gas yang berada di dalam tiub resonator. Pada kebiasaannya, panjang tiub resonator ini adalah bersamaan dengan separuh atau satu gelombang yang lengkap. Penjana semula kebanyakannya diperbuat daripada kuprum atau kertas dan berfungsi untuk mengasingkan bahagian sejuk dan panas pada alat penukar haba. Kesan penyejukan diperolehi daripada bahagian sejuk pada alat penukar haba.\nSebuah prototaip sistem penyejukan termoakustik yang telah dibina di Universiti Kuala Lumpur. Kesan penyejukan dengan suhu beberapa darjah Celsius di bawah suhu persekitaran telah dihasilkan oleh prototaip ini. Dua unit alat penukar haba yang diperbuat daripada kepingan kuprum digunakan untuk melengkapkan sebuah prototaip sistem penyejukan termoakustik.\n2. Sistem Penyejukan Tiub Vorteks\nSistem penyejukan tiub vorteks menggunakan udara pada tekanan tinggi untuk menghasilkan kesan penyejukan. Tiub vorteks mempunyai tiga bukaan, iaitu tempat masuk udara bertekanan tinggi, tempat keluar udara sejuk dan tempat keluar udara panas. Udara bertekanan tinggi akan mengalir masuk ke dalam tiub penjana vorteks. Di dalam tiub ini, vorteks yang terhasil boleh berputar dengan kelajuan sehingga satu juta putaran seminit. Ini menjadikan udara panas akan tertolak ke bahagian dinding tiub. Udara sejuk pula kekal berada di bahagian tengah tiub. Ini membolehkan udara panas dan sejuk keluar melalui hujung tiub yang bertentangan. Perbezaan suhu udara panas dan sejuk boleh melebihi 50 \u00b0C.\nTeknik penyejukan ini sesuai digunakan apabila sumber udara pada tekanan tinggi mudah didapati. Udara sejuk yang dihasilkan sesuai untuk digunakan dalam sistem penyejukan alat pemotong dan menyejukkan makanan yang bergerak di atas konveyor.\n3. Sistem penyejukan sinaran\nSistem penyejukan sinaran bergantung kepada pemindahan haba secara sinaran daripada objek panas kepada persekitarannya yang sejuk. Objek ini perlu terdedah kepada persekitarannya yang sejuk, tanpa ada pelindung. Pemindahan haba melalui sinaran meningkat dengan mendadak jika perbezaan suhu semakin besar.\nKereta yang diletakkan di kawasan yang tidak berbumbung pada waktu malam mungkin akan mempunyai titisan-titisan air pada sebelah pagi. Namun, perkara ini hanya berlaku pada hari-hari tertentu. Titisan air ini akan terbentuk pada permukaan yang mempunyai suhu yang lebih rendah daripada takat embun udara persekitaran. Oleh itu, permukaan kereta mestilah berada pada suhu yang lebih rendah daripada suhu udara persekitaran. Bagaimanakah fenomena ini boleh berlaku?\nJika pada malam sebelumnya langit dilitupi awan, besar kemungkinan tiada titisan air yang akan terbentuk pada permukaan kereta pada keesokan paginya. Awan akan menghalang permukaan kereta daripada terdedah kepada suhu langit yang rendah. Ini menyebabkan suhu permukaan kereta lebih tinggi daripada takat embun udara persekitaran. Oleh itu, tiada titisan air yang akan terbentuk pada permukaan kereta.\nBolehkah sistem penyejukan sinaran ini digunakan untuk menyejukkan struktur bangunan? Pengiraan secara ringkas menunjukkan kesan penyejukan sebanyak 160 W akan dihasilkan untuk setiap meter persegi permukaan bersuhu 30\u00b0C yang terdedah kepada langit pada suhu 0\u00b0C. Jika kuasa penyejukan ini dihasilkan untuk tempoh enam jam, jumlah kesan penyejukan yang boleh disimpan di dalam tangki simpanan tenaga adalah lebih kurang 3456 kiloJoule. Ini boleh menggantikan sistem penyaman udara dengan kapasiti satu kuasa kuda untuk tempoh 30 minit.\nTeknik penyejukan tanpa menggunakan bahan penyejuk boleh digunakan untuk menggantikan penggunaan sistem refrigerasi mampatan wap. Namun, kecekapan sistem penyejukan ini masih perlu diperbaiki untuk memastikan prestasinya setanding dengan sistem refrigerasi mampatan wap. Selain itu, kebolehpercayaan sistem penyejukan ini juga perlu ditingkatkan untuk memastikan kesan penyejukan dihasilkan mengikut keperluan sesebuah ruang atau bilik. Untuk peringkat permulaan, gabungan dua sistem penyejukan mungkin boleh digunakan sebelum sistem refrigerasi mampatan wap digantikan sepenuhnya. Strategi ini akan membantu mengurangkan kebergantungan terhadap sistem refrigerasi mampatan wap tanpa mewujudkan risiko kegagalan menghasilkan kesan penyejukan yang diperlukan." "STIE Nuklear: Teguh Mendepani Krisis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Agensi Nuklear Malaysia giat menjalankan aktiviti pengkomersialan dan pemindahan teknologi bagi produk dan khidmat hasil penyelidikan dan pembangunan dalam bidang teknologi nuklear. Pada setiap dua tahun sekali, agensi ini akan mengadakan Pameran Perdana Teknologi Nuklear (TPS) bagi memperlihatkan kepada masyarakat umum tentang produk dan khidmat teknologi yang dihasilkan.\nPada tahun ini, pameran yang bertemakan \u201cSTIE Nuklear: Teguh Mendepani Krisis\u201d buat pertama kalinya berlangsung secara maya selama dua hari, iaitu pada 13 Disember 2021 hingga 14 Disember 2021 berikutan pandemik COVID-19 yang melanda Malaysia.\nTujuan utama TPS diadakan adalah untuk menghimpunkan saintis, penyelidik dan pengamal terkemuka, pemain industri, dan para pelajar, dalam suatu platform yang unik bagi bersama-sama berkongsi pengalaman dan penemuan penyelidikan, khususnya dalam bidang sains dan teknologi nuklear, termasuklah penyelidikan dan pembangunan yang berpotensi untuk dikomersialkan.\nSementara itu, pameran ini juga menyediakan platform untuk penyelidik, pengamal, pemain industri tempatan atau antarabangsa bagi mempelajari dan mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan kepakaran, produk, perkhidmatan, serta kemudahan yang ditawarkan oleh Agensi Nuklear Malaysia.\nTPS 2021 yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Datuk Zainal Abidin Abu Hassan telah menyediakan pelbagai aktiviti kepada para pengunjung secara maya, termasuklah pameran inovasi dan kreativiti nuklear Malaysia, pameran produk dan khidmat nuklear Malaysia, pameran poster dan ceramah pengurusan pengetahuan, webinar pengkomersialan dan pemindahan teknologi, seminar harta intelek, simposium pengurusan kualiti, serta sembang santai saintis.\nKeluarga Malaysia yang berminat boleh mendaftar dan melayari laman sesawang www.tpsnuclear.com bagi menyertai TPS ini. Pelbagai kuiz dan hadiah menarik serta sijil penyertaan turut disediakan." "\u201cWira Bahasa\u201c ke DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Setelah lebih sebulan pentas Persidangan ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland, digemakan dengan ucapan berbahasa Melayu daripada Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), YB Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, pada hari ini beliau melangkah ke Menara Dewan Bahasa dalam kunjungannya bagi menyatakan penghargaan atas sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memartabatkan bahasa Melayu ke pentas dunia.\nKehadiran YB Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man diraikan oleh pengurusan tertinggi DBP yang diketuai oleh Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan selaku Pengerusi Lembaga Pengelola DBP; Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Tuan Haji Md. Johari Hassan; dan Pengarah Jabatan Penerbitan, Tuan Haji Razali Che Mat. Dalam kunjungan tersebut, DBP menyifatkan YB Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai \u201cWira Bahasa\u201d yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia setelah beliau membuktikan keberanian dan keyakinannya untuk berucap penuh dalam bahasa kebangsaan di pentas UNFCCC COP-26, pada 10 November lalu.\nDBP melihat tindakan YB berucap dalam bahasa kebangsaan bukan sahaja sebagai bukti keberanian negara, malah iltizam yang cukup besar daripada seorang pemimpin. Bagi kami di DBP dan rakan-rakan pejuang bahasa kebangsaan, tindakan YB berucap dalam bahasa kebangsaan di persidangan antarabangsa di Glasgow sebagai satu kemenangan yang besar terhadap bahasa Melayu, iaitu membuktikan bahawa bahasa Melayu sebagai tonggak tamadun negara yang sudah berakar dan tidak boleh diperkecilkan. Kalau kita hendak melihat kesinambungan peradaban negara pada masa akan datang, maka kita perlu terus memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai amalan dan usaha ini perlu dilaksanakan juga oleh pemimpin lain di negara ini,\u201c ujar Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dalam ucapannya sebagai mengalu-alukan kehadiran YB Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.\nUNFCCC COP-26 merupakan persidangan yang diadakan pada setiap tahun untuk membincangkan dan menentukan dasar dan tindakan terhadap perubahan iklim global. Mesyuarat UNFCCC COP yang pertama telah diadakan di Berlin, Jerman pada Mac 1995. Sejak itu, amalan pemimpin negara berucap menggunakan bahasa negara masing-masing sudah lama diamalkan oleh kebanyakan pemimpin negara seperti Republik Rakyat China, Jerman, Rusia, Perancis, dan Indonesia." "Bahasa Melayu Dinamik dan Universal Sifatnya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nSerdang \u2013 Dalam pembinaan ketamadunan yang gemilang, bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu dan bahasa budaya yang amat cemerlang. Bahasa Melayu ialah bahasa yang bersifat universal dan tidak statik. Hasilnya bahasa Melayu sesuai digunakan dalam pelbagai disiplin ilmu.\nBahasa Melayu juga sudah menjadi bahasa diplomasi sejak ratusan tahun dahulu. Kini, penutur bahasa Melayu telah tersebar luas di seluruh dunia termasuklah di Thailand, Brunei, Kemboja, Sri Lanka dan lain-lain.\nKenyataan oleh Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob telah membuka lembaran baharu dalam sejarah bahasa Melayu apabila beliau menyarankan supaya bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa rasmi di luar negara dan berhasrat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN.\nSehubungan dengan itu, bersempena dengan Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu Ke-11 (SALPBMXI) yang diadakan pada 29 hingga 30 Mac 2022, isu bahasa Melayu turut dibincangkan dalam seminar ini. SALPBMXI merupakan program anjuran Jabatan Bahasa Melayu dan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.\nSALPBMXI ini diadakan bagi membincangkan isu yang berkaitan dengan tema utamanya, iaitu \u201cMendepani Isu Bahasa dan Sastera Kontemporari untuk Menghadapi Cabaran Sarwajagat\u201d selain untuk menelusuri dan mendedahkan perkembangan terkini bahasa Melayu dalam bidang kontemporari serta \u00a0menggembeleng idea dan mencari kesepakatan bersama dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.\nMajlis perasmian seminar ini telah disempurnakan oleh Tan Sri Datuk Dr. Kamal Salih, iaitu Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Mahkota, yang bersiaran secara langsung menerusi FB langsung UPM https://www.facebook.com/UniPutraMalaysia pada pukul 8.45 pagi tadi.\nMenurut beliau, usaha penganjuran seminar ini sangat baik kerana merupakan kegiatan kebahasaan yang mementingkan kelestarian bahasa dan pembudayaan yang dilaksanakan secara menyeluruh dan bersifat universal atau sarwajagat.\nBahasa Melayu juga telah bergerak lebih ke hadapan disebabkan sifatnya yang dinamik. Sejarah lampau menyaksikan kedudukan bahasa Melayu yang gemilang sebagai bahasa peribumi yang berfungsi sebagai lingua franca kerana\u00a0kedinamikannya yang mengatasi bahasa asing yang lain.\nBahasa Melayu juga telah mempengaruhi budaya masyarakat Melayu sehingga penggunaan bahasa Melayu menjadi sebati dengan kehidupan masyarakat Melayu pada\u00a0 zaman dahulu. Hal ini menjadikan bahasa Melayu mampu mengangkat kegemilangan masyarakat Melayu pada ketika itu.\nSangat penting untuk melihat bahasa Melayu terus berada pada kedudukan yang sepatutnya kerana bahasa Melayu bukan hak mutlak bangsa Melayu tetapi sebagai bahasa kebangsaan milik semua rakyat Malaysia.\nTambahnya lagi, bahasa Melayu perlu diangkat sebagai khazanah yang sangat berharga dan menjadikan bahasa Melayu mampu menghadapi gelombang globalisasi. Namun begitu, ledakan teknologi maklumat membawa perspektif negatif bagi sesetengah masyarakat terhadap bahasa Melayu untuk tidak menggunakan bahasa Melayu, sedangkan sejarah membuktikan kejayaan sesuatu tamadun itu bergantung pada bahasanya.\nTambahnya lagi, cabaran pandemik COVID-19 telah menjadikan masyarakat lebih bersedia dan matang dalam menghadapi kemungkinan yang mendatang untuk memastikan bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu, bahasa tadbir urus, bahasa diplomatik dan seterusnya sebagai bahasa penyatuan di peringkat sarwajagat.\nDi samping itu, para ilmuwan dan sarjana serta pengkaji juga harus mengembangkan ilmu dalam bahasa Melayu kerana nilai bahasa Melayu yang merupakan bahasa yang kreatif dan produktif sebagai bahasa ilmu. Bahasa Melayu telah melahirkan banyak ilmuwan dalam pelbagai bidang. Saranan Perdana Menteri untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua peringkat ASEAN telah memberikan impak terhadap bahasa Melayu. Hal ini demikian supaya bahasa Melayu dapat dipraktikkan penggunaannya di persidangan dunia termasuklah di Persidangan PBB.\nPara sarjana dan pengkaji juga diingatkan agar dapat mengetengahkan hasil kajian yang diperoleh bagi memasyarakatkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu, seterusnya menjanakan budaya ilmu dalam kalangan sarjana dan ilmuwan negara ini.\nYang turut hadir dalam majlis ini ialah Tuan Haji Md Johari Hasan, iaitu Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, yang menggesa agar semua pihak dapat berganding bahu dan bersatu hati bagi memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Katanya, penganjuran seminar ini memang sesuai dan kena pada masanya kerana Kementerian Pengajian Tinggi turut mewajibkan pelajar asing mempelajari bahasa Melayu ketika menyambung pengajian di pusat pengajian tinggi di negara ini.\nUsaha DBP yang berterusan tanpa jemu dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu telah menjadikan bahasa Melayu terus berkembang dengan\u00a0 penambahan pelbagai kosa kata dan istilah dalam pelbagai bidang telah mengangkat bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di peringkat ASEAN ialah usaha yang memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Masyarakat seharusnya tidak perlu kekok dan malu untuk menggunakan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa supaya bahasa Melayu sentiasa meniti ke puncak kegemilangan.\nYang turut hadir sebagai pengucap utama ialah Prof. Dr. Tatiana Denisova (CASIS UTM), dengan judul \u201cHistoriografi Islam Melayu: Zaman Baharu Persuratan Kebangsaan\u201c dan Prof. Dr. Rohaidah Kamarudin, selaku Pengerusi SALPBMXI." "KASA Komited Membantu DBP Martabatkan Bahasa Melayu di Persada Antarabangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cKementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan bersama-sama membantu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam mengangkat martabat bahasa Melayu di peringkat kerajaan dan seterusnya di persada antarabangsa,\u201d kata YB Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air dalam sesi kunjungan hormatnya ke DBP pada hari ini.\nYB Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan bahawa kerajaan sangat positif dan menyambut baik segala usaha yang dijalankan dalam memperkasakan bahasa Melayu.\nBeliau menambah, antara langkah awal yang dipersetujui pihak kerajaan adalah dengan meningkatkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam semua program rasmi termasuklah seminar di peringkat antarabangsa.\nOleh itu, beliau berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih dengan penghormatan yang diberikan oleh DBP melalui surat rakaman penghargaan yang diterimanya atas usaha memartabatkan bahasa Melayu.\n\u201cHal ini memberikan suatu semangat kepada saya secara peribadi dan rakan-rakan pejuang bahasa yang lain. Saya akui bahawa kekuatan dan hala tuju sesuatu bahasa itu terletak pada bahu para pemimpin. Semasa saya hadir di Glasgow, kebanyakan pemimpin dunia tampil bangga akan bahasa kebangsaan mereka.\u201d\nDalam sesi kunjungan hormat beliau ke DBP pada hari ini, antara perkara yang dibincangkan ialah usaha sama antara KASA dengan DBP dalam bidang peristilahan berkaitan dengan alam sekitar dan perubahan iklim, penerbitan buku dan kegiatan serta program pengembangan bahasa Melayu.\nTerdahulu, YB Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menggunakan bahasa Melayu ketika menyampaikan ucapan dalam Persidangan ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland pada 10 November lalu." "Matriks Bukan Sekadar Susunan Nombor\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPepatah dalam bahasa Inggeris ada menyatakan, Mathematics is the Queen of Science while Physics is the King of Science. Carl Friedrich Gauss, seorang ahli fizik matematik Jerman yang hebat pada zamannya juga menyebut, Mathematics is the queen of science, and arithmetic is the queen of mathematics. Pepatah ini menggambarkan peri pentingya bidang fizik dan matematik serta peranan kedua-dua bidang ini dalam penerokaan sains dan teknologi. Kajian fizik yang sememangnya disiplin sains yang bersifat fundamental banyak bergantung pada hampir kesemua teknik bermatematik dalam menterjemahkan sesuatu konsep fizik. Teknik matematik yang melibatkan topik seperti kalkulus, aljabar dan persamaan pembezaan adalah antara teknik yang paling penting penggunaannya dalam fizik. Formulasi yang ada bukan hanya untuk menyelesaikan masalah berkaitan fizik semata-mata, namun berpotensi digunakan untuk membuktikan penemuan baharu dalam bidang fizik yang belum ditemui.\nJika menelusuri senarai saintis terkemuka sejak bermulanya revolusi sains dan teknologi, rata-rata para saintis mempunyai latar belakang dalam bidang fizik matematik. Sebagai contohnya, Gauss banyak menyumbang dalam bidang matematik dan fizik sehinggakan beliau dikenali sebagai ahli matematik terhebat. Konsep hukum Gauss yang mengaitkan taburan cas elektrik yang menghasilkan medan elektrik menjadi salah satu topik penting dalam keelektromagnetan dan diterjemahkan melalui formulasi matematik yang melibatkan persamaan pembezaan.\nNamun demikian, dalam keghairahan manipulasi kalkulus dan aljabar yang biasa didengar, terdapat satu lagi sisi kajian matematik yang dipanggil matriks dan jarang dibincangkan secara santai, sekurang-kurangnya pada peringkat umum. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, matriks bermaksud persekitaran atau konteks tempat sesuatu yang merangkumi masyarakat, organisma, fahaman dan lain-lain berkembang. Sebagai contohnya, matrikulasi ialah tempat persediaan dan perkembangan pelajar sebelum memasuki alam universiti. Dalam konteks tulisan ini, matriks merupakan suatu perkakasan matematik dengan struktur dan konsepnya yang lebih teknikal dan mungkin bersifat menyelesaikan permasalahan tertentu semata-mata, terutamanya yang melibatkan persamaan garis lurus atau lebih dikenali sebagai persamaan linear.\nOperasi melibatkan matriks sebenarnya agak mudah difahami. Sejak di peringkat sekolah rendah lagi, nombor diajarkan kepada setiap pelajar setiap hari. Selepas itu, operasi asas yang melibatkan nombor juga diperkenalkan seawal umur tujuh tahun. Operasi asas ini melibatkan penambahan, penolakan, pendaraban dan pembahagian nombor. Pada peringkat universiti pula, pengendalian nombor telah diperluaskan penstrukturannya dan dipanggil sebagai matriks. Topik ini dibincangkan dengan lebih spesifik dalam kursus aljabar linear.\nJika operasi asas nombor jelas dah mudah difahami, sifat matriks juga memberi takrif operasi antara matriks yang sama dengan operasi asas bagi nombor. Dengan kata lain, matriks berkelakuan sama seperti nombor, terutamanya apabila melibatkan penambahan, penolakan dan pendaraban nombor (skalar) ini.\nMatriks dikenali sebagai susunan nombor mengikut lajur dan baris yang membentuk segi empat tepat atau segi empat sama yang dipagari dengan kurungan. Nombor di dalam matriks dipanggil sebagai unsur sesuatu matriks. Bagi matriks segi empat sama, matriks mempunyai saiz yang ditulis seperti saiz n x n (dibaca n darab n). Sebagai contohnya, jika matriks bersaiz 2 x 2, maka susunan nombor yang terdapat dalam matriks sebanyak 4 nombor dengan 2 lajur dan 2 baris. Bagi matriks segi empat tepat, saiz m x n yang menunjukkan jumlah lajur dan baris matriks adalah berbeza.\nPada kurun ke-1800, penemuan penentu pada nombor yang disusun berbentuk segi empat sama dikenal pasti terlebih dahulu. Penentu ialah suatu nombor unik yang diperoleh daripada suatu matriks dan hanya tertakrif bagi matriks yang bersaiz segi empat sama sahaja, iaitu saiz n x n. Penentu ini menentukan sama ada suatu matriks segi empat sama itu singular (jika penentunya sifar) ataupun tidak (penentu selain sifar). Hanya pada kurun ke-1900, James Sylvester, ahli matematik dan Arthur Cayley memperkenalkan terma \u201cmatriks\u201d dan bertanggungjawab membangunkan aspek aljabar matriks yang diguna pakai hingga hari ini.\nMatriks juga mempunyai ruang aplikasi luas yang meliputi bidang kejuruteraan, fizik, ekonomi, statistik dan bidang grafik komputer selain daripada matematik. Dalam sektor ekonomi, matriks digunakan untuk mewakilkan data yang mengaitkan elemen ekonomi dan perniagaan seperti melibatkan kos untung rugi, jumlah perbelanjaan dan lain-lain. Teknik matriks yang melibatkan transformasi imej dalam grafik pengkomputeran pula menggunakan matriks dan sifat-sifat matriks untuk menghasilkan analisa perkadaran atau perkaitan imej lama dengan imej baharu.\nMatriks dalam bidang fizik diaplikasikan dalam kajian optik dan diperihalkan melalui \u201cbahasa\u201d matriks. Bagi menangani dan memahami konsep pengutuban cahaya linear, beberapa jenis matriks digunakan dalam konsep optik. Antaranya ialah matriks Jones yang menerangkan pengutuban cahaya yang koheren seperti laser. Matriks Mueller pula diguna pakai dalam memperihalkan pengutubahan cahaya rawak, cahaya separuh atau cahaya yang tak koheren seperti cahaya daripada lampu pijar.\nMatriks Jones (Jones matrices) dikemukakan oleh R. Clark Jones, seorang ahli fizik Amerika yang pada mulanya memperkenalkan Kalkulus Jones pada tahun 1941. Melalui Kalkulus Jones, cahaya terkutub diwakilkan oleh kuantiti vektor Jones, manakala unsur fenomena optik linear diwakilkan oleh matriks Jones. Matriks Jones diimplementasikan melalui komponen optik seperti kanta, pemisah pancar, cermin dan lain-lain. Sebagai contohnya, jika suatu cahaya koheren melalui satu kanta, pengutuban cahaya yang berlaku boleh dikira dengan melihat kepada hasil darab matriks Jones bagi komponen kanta dan vektor Jones bagi cahaya tuju.\nDalam bidang komputer kuantum, perwakilan kubit atau kuantum bit yang ditakrifkan sebagai unit asas maklumat kuantum seperti bit (unit asas maklumat komputer biasa) juga diperihalkan dengan matriks. Kuantum bit asas diwakilkan oleh sistem dua-aras yang ditulis dalam bentuk matriks lajur bersaiz 2 x 1 dengan unsur 1 dan 0 atau 0 dan 1. Oleh sebab topik kuantum bit ini sepadan dengan bit dalam komputer biasa, konsep seperti get, litar dan algoritma kuantum juga hebat dibincangkan. Sebagai contohnya, Matriks Hadamard merupakan satu bentuk matriks yang mewakilkan sifat suatu get. Nama matriks ini diambil bersempena dengan nama Jacques Hadamard (1893), ahli matematik Perancis. Matriks Hadamard mempunyai bentuk matriks segi empat sama bersaiz 2 x 2 dan setiap unsur matriksnya hanyalah nombor 1 dan -1.\nMatriks Hadamard bertindak ke atas salah satu kuantum bit asas untuk menghasilkan keadaan superposisi suatu kuantum bit asas. Ini memberi potensi peningkatan kadar kuasa pengkomputeran bagi sesebuah komputer kuantum berbanding dengan komputer biasa dalam menyelesaikan permasalah komputasi yang lebih kompleks seperti permodelan DNA, pengiraan spektrum tenaga atom bagi zarah atau molekul kompleks, analisis data raya dan lain-lain.\nJika matriks asas mempunyai sifat yang tersendiri, matriks Hadamard juga mempunyai beberapa hal istimewa seperti anti-matriks Hadamard, matriks Hadamard biasa dan matriks Hadamard pengeliling (circulant). Kesemua ini dikenal pasti untuk memudahkan pengguaan matriks Hadamard berpandukan kepada sistem fizik atau matematik yang tertentu.\nBerabad lamanya, matriks dan sifatnya telah membuktikan bahawa hampir semua struktur sains mahupun sains sosial yang bersandaran secara linear boleh diwakilkan dengan konsep dan asas matriks. Tujuannya adalah untuk memberi penyelesaian dan analisis kepada permasalahan secara saintifik dalam bentuk matriks yang dianggap lebih mudah, efisien dan tersusun. Maka tidak hairanlah jika di peringkat pengajian tinggi, setiap pelajar sains disarankan untuk menguasai konsep matriks dalam matematik dan fizik dengan baik supaya aplikasi matriks dapat diperluaskan kepada pelbagai cabang sains dan bukan sains." "Lembiding Tinggi Sumber Antioksidan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPaku-pakis telah diketahui mempunyai nilai ekonomi sebagai sumber bahan makanan, ubat-ubatan, perhiasan dan landskap. Sumber makanan daripada paku-pakis boleh diperoleh daripada bahagian batang, rizom, daun dan pucuk muda. Lembiding (paku midin, paku meliding, paku merah, paku akar, paku naga, paku ramu) atau Stenochlaena palustris daripada famili Blechnaceae merupakan paku-pakis epifit yang menumpang pada tumbuhan lain. Lembiding berpaut pada kulit kayu untuk mengumpul makanan dan air yang diperlukan. Akar paku-pakis ini jarang menjejak tanah kerana diselaputi lumut yang membantu dalam mengumpul air dan humus sebagai sumber nutrien kepada paku-pakis.\nLembiding digunakan secara tradisional oleh masyarakat orang asli di Malaysia untuk merawat demam. Daun atau pucuk muda lembiding dibersihkan dan direbus. Air rebusan tersebut digunakan untuk mengelap seluruh badan bagi mengurangkan rasa panas pada badan. Bagi merawat ulser atau seriawan, air rebusan daun lembiding digunakan untuk berkumur. \n\nPucuk atau daun muda lembiding boleh dijadikan ulam-ulaman dengan cara membersihkan daun dan kemudiannya dicelur di dalam air panas yang dicampurkan dengan sedikit minyak. Paku-pakis ini juga sering dijadikan sayuran masakan atau sebagai bahan bubur lambuk di Semenanjung Malaysia. Di samping itu, lembiding digunakan untuk merawat penyakit kulit di Thailand. Manakala di Sumatera, pucuk lembiding diambil bersama-sama makanan apabila seseorang merasa kurang selera makan. Batang lembiding boleh digunakan untuk membuat perangkap ikan dan kadangkala digunakan dalam pembuatan bakul.\nLembiding kebiasaannya dijumpai di kawasan berdekatan paya terbuka dan merupakan paku-pakis pemanjat di hutan sekunder dan di kawasan tanah rendah hingga berbukit. Spesies ini juga kerap dijumpai di kawasan penanaman kelapa sawit dan di kawasan yang menerima cahaya matahari secara langsung. Lembiding dicirikan oleh fron muda yang berwarna merah. Rizomnya menjalar dan memanjat pada batang pokok dan berwarna hijau. Fron spesies ini kira-kira 40 \u2013 70 sentimeter panjang, mempunyai pina steril dan fertil, tebal, berkilat pada permukaan adaksial dan mempunyai peruratan ringkas atau bercabang. Pina fertil mempunyai sorus yang menutupi keseluruhan permukaan adaksial pina dan tidak dilindungi oleh indusium. Spora paku pakis ini berwarna perang.\nTerdapat beberapa kajian saintifik yang telah membuktikan potensi ubat-ubatan dan khasiat lembiding. Kajian membuktikan terdapat bahan fenolik dan bahan antioksidan pada paku-pakis ini yang ditemukan pada gelungan daun atau krozier dan kesemua fron termasuklah fron steril, fron fertil, fron muda atau fron tua. Bahan fenolik dan bahan antioksidan sangat berguna sebagai produk awet muda atau mengekalkan keanjalan kulit. Kehadiran antosianin pada fron muda atau pada gelungan daun muda (krozier) juga menunjukkan potensi pemakanan pada bahagian ini.\nAntara fungsi antosianin adalah sebagai antioksidan dalam tubuh dan mencegah aterosklerosis. Antosianin menghalang pembentukan lemak jahat atau lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) dan melindungi dinding salur darah. Antosianin turut memberikan manfaat pada kesihatan seperti melindungi perut daripada kerosakan, menghalang sel tumor, meningkatkan kemampuan penglihatan mata, serta berfungsi melindungi otak daripada kerosakan. Antosianin juga membantu mencegah obesiti dan diabetes, meningkatkan kemampuan memori otak dan mencegah penyakit neurologi, serta menentang radikal bebas dalam badan.\nLembiding mempunyai aktiviti antioksidan yang tinggi bagi ekstrak metanol dan air. Spesies ini mempunyai sebatian kimia yang dikenali sebagai taraxerone. Kajian merekodkan terdapat tujuh sebatian kumpulan glikosida kaempferol bagi spesies ini. Hasil kajian juga mendapati kumpulan terpenoid lebih banyak dijumpai dan dikenal pasti sebagai kumpulan triterpenoid daripada jenis steroid. Sebatian terpenoid dikaitkan dengan ubat tahan sakit dan anti keradangan. Steroid pula banyak dihubungkan dengan hormon seksual yang sentiasa menjadi tumpuan penyelidik dan ahli farmasi.\nHasil kajian ujian ABTS ekstrak metanol menunjukkan lembiding mempunyai aktiviti antioksida dengan nilai ABTS 9504.9 mg GAE/100 g. Hasil ujian ABTS ekstrak air pula merekodkan nilai aktiviti antioksida sebanyak 958.15 GAE/100 g. Ujian pemerangkapan radikal bebas DPPH ekstrak metanol mencatatkan nilai radikal bebas DPPH sebanyak 9289.2 mg GAE/100 g, manakala ujian radikal bebas DPPH ekstrak air menunjukkan spesies ini mempunyai aktiviti antioksida dengan nilai sebanyak DPPH 775 GAE/100 g.\nSementara itu, kajian terhadap ekstrak daun matang fertil lembiding merekodkan aktiviti antioksidan paling tinggi dengan nilai radikal bebas sebanyak DPPH 2.299 GA/100 g, diikuti dengan ekstrak daun matang steril dengan nilai 2.071 GA/100 g, ekstrak daun muda fertil sebanyak 1.997 GA/100 g dan ekstrak daun muda steril dengan bacaan 1.801 GA/100 g.\nOleh itu, berdasarkan kajian saintifik yang dilakukan, bolehlah dikatakan bahawa lembiding mempunyai potensi sebagai tanaman ubat-ubatan dan makanan, terutamanya pada bahagian fron muda berwarna merah kerana sifatnya yang kaya dengan sumber antioksidan." "Melestarikan Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHijau bumi suatu ketika dahulu kian hilang pada pandangan mata. Pada masa ini, hanya lambakan sampah sarap, keruhan air sungai dan hakisan tanah disajikan kepada masyarakat akibat tangan rakus manusia. Alam sekitar merupakan nikmat dan anugerah Allah SWT yang tidak ternilai kepada kesejahteraan kepada manusia dan juga haiwan. Kebergantungan manusia terhadap alam sekitar adalah tinggi kerana di situlah sumber oksigen, sumber makanan dan minuman. Kelangsungan dan kesejahteraan hidup yang dinikmati oleh manusia pada hari ini merupakan hasil hubungan harmoni antara manusia dan alam sekitarnya. Tanpa kehadiran alam sekitar, tidak mungkin wujud lagi penghuni di bumi ini. Namun, manusia masih gagal untuk memastikan kelestarian alam sekitar, terutamanya di Malaysia tidak kira sama ada di kawasan bandar mahupun di luar bandar.\nMenurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, alam sekitar bermaksud suatu aset atau simpanan sumber alam sama ada berbentuk material dalam kelompok masyarakat atau populasi tertentu, pada waktu dan tempat yang tertentu bagi menyempurnakan dan memenuhi keperluan manusia dari semasa ke semasa. Manakala, definisi alam sekitar atau persekitaran berdasarkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) ialah faktor-faktor fizikal yang mengelilingi kehidupan manusia. Hal ini termasuklah tanah, air, udara, iklim, bunyi, bau, rasa, faktor biologi, dan faktor sosial yang saling bergantung sesama sendiri antara faktor biologi dengan faktor fizikal. Jelaslah bahawa daripada definisi alam sekitar tersebut, manusia sememangnya saling berhubungan dengan alam untuk memastikan kelangsungan dan kesinambungan hidup di muka bumi ini. Oleh sebab itu, menjadi tanggungjawab setiap manusia untuk memelihara alam sekitar sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, \u201cDunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan\u201c. (Hadis riwayat Muslim).\nDari sudut ekonomi, alam sekitar yang membabitkan kawasan hutan dan kawasan tanah tinggi dianggap sebagai sumber ekonomi dan perlu dibangunkan dan dimajukan. Justeru, projek pembangunan di kawasan terbabit turut dirangka termasuklah projek infrastruktur seperti pembinaan lebuh raya. Tidak salah sebenarnya sumber alam dimanfaatkan untuk kemudahan dan kesenangan orang ramai, namun pembangunannya perlulah menepati piawaian yang betul agar tidak berlakunya bencana alam di kemudian hari. Namun, kebanyakan pembangunan terutamanya di kawasan tanah tinggi acapkali menyebabkan berlakunya bencana alam di Malaysia. Yang terbaharu ialah kejadian tanah runtuh yang menjejaskan bahagian belakang 19 buah rumah teres dua tingkat di Jalan Kemensah Heights pada bulan September lalu.\nJika diperhatikan, pencemaran yang berlaku secara berleluasa di negara ini adalah disebabkan oleh pelbagai faktor. Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Jabatan Alam Sekitar, sebanyak 91 peratus kejadian pencemaran di Malaysia terutamanya pencemaran adalah disebabkan oleh najis, sama ada najis haiwan mahupun najis manusia. Selain itu, unsur lain yang menyebabkan berlakunya pencemaran di Malaysia ialah bahan kumbahan dan baja bagi tujuan pertanian, kelodak dan bahan lain berbentuk pepejal seperti tanah, bahan buangan kawasan pembinaan dan perbandaran selain daripada hakisan tebing sungai. Bahan buangan daripada industri perkilangan, pembalakan dan pembangunan industri juga menyumbang kepada faktor berlakunya pencemaran. Sebagai contohnya, pencemaran air di Selangor sering kali berlaku gara-gara sikap mementingkan diri beberapa buah kilang yang mencemarkan sumber air mentah dan seterusnya menyebabkan gangguan bekalan air sehingga menjejaskan sebahagian besar pengguna di Lembah Klang.\nDi samping itu, masyarakat seharusnya bertanggungjawab menggalas peranan dalam membantu kerajaan melestarikan alam sekitar. Masyarakat sebenarnya boleh memainkan peranan dalam melestarikan alam sekitar jika setiap orang mengetepikan sikap acuh tak acuh terhadap pencemaran yang terjadi di sekeliling mereka. Antara usaha kerajaan dalam melestarikan alam sekitar termasuklah mengambil langkah dengan mengeluarkan larangan penggunaan penyedut minuman plastik yang akan dikuatkuasakan bermula pada bulan Januari 2020. Larangan ini berkuatkuasa kepada para pengusaha premis makanan di Malaysia. Walau bagaimanapun, pandemik yang melanda Malaysia menyebabkan penguatkuasaan hal ini masih belum terlaksana sepenuhnya.\nPeranan masyarakat dalam melestarikan alam sekitar perlu berakar umbi dari dalam diri bermula sejak kecil lagi. Hal ini kerana Malaysia kini menghadapi masalah pembuangan sampah yang tidak diurus dengan baik yang boleh menyebabkan masalah yang lebih besar pada masa hadapan. Penghasilan sisa domestik di negara ini telah meningkat dari sehari ke sehari terutamanya semasa musim pandemik sehinggakan tapak pelupusan sampah yang disediakan gagal menampung sisa buangan yang semakin meningkat. Oleh sebab itu, sudah tiba masanya jumlah sampah dan air sisa perlu dikurangkan bagi menangani masalah ini. Pengurusan sisa pepejal di rumah seharusnya ditangani secara lebih berhemah. Sebagai contohnya, sisa buangan di rumah seperti minyak masak terpakai boleh dikumpulkan dalam bekas yang bersesuaian seperti botol minyak masak asal dan apabila penuh bolehlah dihantar ke pusat kitar semula berhampiran. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuang terus sisa minyak ke dalam sinki yang menyebabkannya mengalir ke dalam sistem perparitan. Hal ini boleh mengakibatkan parit dan longkang berbau busuk dan tersumbat dan seterusnya boleh menyebabkan banjir kilat.\nSelain itu, setiap isi rumah juga perlu melaksanakan konsep amalan 3R, iaitu reduce (pengurangan), reuse (penggunaan semula) dan recycle (kitar semula) dalam menguruskan sisa pepejal. Konsep pengurangan merujuk amalan yang dapat mengurangkan penjanaan sisa pepejal. Antaranya adalah dengan mengurangkan penggunaan bahan seperti beg plastik dan polisterin. Pada bulan November 2020, kerajaan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air telah bersetuju untuk melaksanakan inisiatif Kempen Tiada Beg Plastik bagi meningkatkan penghayatan gaya hidup hijau dalam kalangan rakyat Malaysia. Namun, kesedaran masyarakat terhadap kempen ini masih terlalu rendah jika dibandingkan dengan negara maju lain. Orang ramai dilihat lebih gemar memilih membeli beg plastik dengan caj minimum sebanyak dua puluh sen yang ditawarkan berbanding membawa beg guna semula semasa membeli-belah dalam usaha bersama melestarikan alam sekitar.\nKonsep kedua, iaitu penggunaan semula merujuk mempelbagaikan penggunaan bahan tersebut sama ada untuk mengekalkan bentuk asalnya atau tidak. Sebagai contohnya, pakaian lama boleh dijadikan sebagai kain perca, tayar kenderaan lama boleh digunakan untuk menanam pokok dan sebagainya berdasarkan kreativiti dan cita rasa masing-masing. Konsep yang terakhir pula, iaitu kitar semula merujuk meletakkan sesuatu dalam kitaran. Proses mengitar semula bermula dengan mengasingkan sisa, dan kemudian menyalurkannya kepada organisasi atau kilang yang memprosesnya supaya menjadi produk baru untuk kegunaan semula.\nSeharusnya, masyarakat sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi sedar akan tanggungjawab masing-masing dalam melestarikan alam sekitar. Bukalah mata dengan melihat segala bencana alam yang terjadi di Malaysia kebelakangan ini. Kejadian banjir kilat, pembakaran terbuka, jerebu, tanah runtuh, dan tumpahan minyak merupakan fenomena pencemaran yang berpunca daripada sikap tamak dan perbuatan buruk manusia sendiri. Sama-samalah menjaga bumi yang semakin tua ini agar anak cucu dapat mewarisi kesejahteraan alam semula jadi seluruhnya." "Hujan Berterusan Diramal di Beberapa Negeri Akibat Luruan Monsun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Cuaca di Malaysia dicirikan dengan dua jenis monsun, iaitu monsun barat daya yang bermula dari akhir bulan Mei hingga bulan September, dan monsun timur laut dari bulan November hingga bulan Mac. Monsun timur laut menyebabkan hujan lebat, terutamanya di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak, manakala monsun barat daya menunjukkan cuaca yang lebih kering. Tempoh peralihan antara dua monsun ini dikenali sebagai musim peralihan monsun.\nMusim monsun timur laut merupakan musim hujan utama di Malaysia. Sistem cuaca monsun yang terbentuk bersama-sama luruan udara sejuk dari Siberia menghasilkan hujan lebat yang sering menyebabkan banjir besar.\nBerdasarkan hantaran Facebook Jabatan Meteorologi Malaysia, Malaysia diramalkan berlaku luruan monsun, antara hari Isnin hingga hari Khamis minggu depan. Luruan monsun merupakan angin sejuk dari Siberia yang menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan.\nJabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataannya menyatakan bahawa angin kencang dan laut bergelora diramal berlaku di perairan Laut China Selatan, termasuklah kawasan perairan pantai timur Semenanjung Malaysia pada 26 Disember 2021 hingga 30 Disember 2021. Selain itu, situasi ini juga berpotensi menyebabkan hujan yang berterusan di Johor Timur, Sabah Timur dan Sarawak Barat dalam tempoh 28 Disember 2021 hingga 30 Disember 2021.\nOrang awam yang merancang perjalanan ke kawasan-kawasan berkenaan dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan peka dengan maklumat terkini dan sahih daripada Jabatan Meteorologi Malaysia.\nSementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia akan terus memantau keadaan cuaca dan akan mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan dan Amaran Ribut Petir apabila keadaan perlu. Masyarakat harus membuat persediaan awal bagi menghadapi segala kemungkinan yang akan berlaku.\nUntuk maklumat cuaca terkini, klik di sini atau melalui aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia." "Zooterapi: Menjejaskan Kelestarian Haiwan Liar?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nZooterapi merupakan perubatan alternatif yang menggunakan bahan berasaskan haiwan sama ada keseluruhan haiwan atau bahagian tertentu haiwan. Lazimnya, perubatan alternatif ini diamalkan oleh suatu etnik, suku kaum atau masyarakat yang tinggal di negara miskin tetapi kaya dengan sumber fauna. Zooterapi telah menjadi budaya yang diamalkan dan diwarisi sejak turun-temurun. Perkara ini berlaku ekoran daripada faktor seperti sukar memperoleh perubatan moden dan kos yang lebih murah berbanding dengan perubatan moden.\nPakar perubatan Islam sejak awal abad ke-9 seperti al-Tabari dan al-Kindi menghuraikan kegunaan beberapa haiwan dalam perubatan. Sebagai contohnya, di Iraq dan Iran, haiwan seperti beruang, unta, lembu, ketam, anjing, kuda, biawak, tikus, burung merpati, arnab, badak, kambing, kala jengking, ular, sotong, penyu, dan serigala serta produk haiwan seperti madu, lilin, susu, dan telur telah dilaporkan digunakan sebagai bahan perubatan.\nJadual 1: Haiwan dan bahagian haiwan yang digunakan untuk rawatan.\nDi Kepulauan Melayu, penggunaan bahan berasaskan haiwan untuk tujuan perubatan tercatat dalam kitab Pati Rahsia, Mujarrabat Melayu dan Dunia Hikmah. Seterusnya, di kawasan geografi negara rantau Mediterranean Timur melibatkan negara Israel, Syria, Lebanon, dan Jordan, sejumlah 42 ekstrak haiwan yang digunakan sebagai bahan perubatan pada abad ke-10 hingga abad ke-19. Di India pula, dilaporkan sejumlah 109 spesies haiwan, iaitu melibatkan 270 penggunaan dalam perawatan pelbagai penyakit.\nSementara itu, kelawar adalah antara haiwan yang digunakan dalam zooterapi. Walaupun pengambilan kelawar sebagai sumber makanan dan perubatan, haiwan ini boleh menyebabkan berlakunya penyakit zoonosis kerana keupayaannya menyimpan atau menjadi perumah kepada pelbagai virus seperti virus korona, filovirus, paramiksovirus, dan lyssavirus. Walau bagaimanapun, dilaporkan sejumlah 169 spesies haiwan ini diburu di serata dunia untuk dijadikan sumber perubatan dan makanan. Indonesia, Filipina dan Thailand merupakan negara yang mencatatkan jumlah pemburuan spesies kelawar yang tinggi.\nDi Kalimantan Tengah, kelawar dipercayai berupaya untuk menyembuhkan penyakit seperti penyakit berkaitan dengan dada serta digunakan sebagai rawatan selepas bersalin. Terdapat kajian di Thailand yang melaporkan dua spesies kelawar yang diburu untuk dijadikan sumber makanan, iaitu lesser dog-faced fruit bat dan shortridge\u2019s rousette bat. Darah kelawar dijadikan bahan makanan tambahan yang dipercayai boleh menyembuhkan penyakit seperti sakit belakang, kaki dan pinggang. Di Bangladesh pula, tulang kelawar digunakan untuk rawatan sakit sendi dan asma.\nJadual 2: Jumlah spesies kelawar yang dijadikan sumber makanan dan perubatan di negara Asia.\nBenua\nJumlah Spesies\nMakanan\nPerubatan\nAsia Selatan\n9\n9\nAsia Tenggara\n56\n5\n(Sumber: Mildenstein et al., (2015))\nDalam perubatan masyarakat Cina yang telah diamalkan sejak 2000 tahun dahulu hingga kini, hempedu beruang sering digunakan dalam bidang perubatan. Hingga tahun 1980, dilaporkan bermulanya aktiviti penternakan beruang yang bertujuan untuk mendapatkan hempedunya. Hempedu ini dijual dalam bentuk pil, serbuk dan ada yang dicampurkan dengan minuman keras. Komposisi kimia hempedu beruang yang mengandungi asid ursodeoksikolik digunakan dalam rawatan batu karang dan penyakit hati.\nTerkini dilaporkan campuran serbuk hempedu beruang dengan tanduk kambing dan herba tumbuhan digunakan untuk merawat pesakit COVID-19. Walaupun penternakan hempedu sah di China, tetapi pengeksportan produk atau rawatan yang dibuat daripadanya adalah diharamkan oleh Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam.\nSeterusnya, harimau turut dijadikan sumber perubatan. Tulang harimau telah lama digunakan dalam amalan perubatan Cina untuk menyembuhkan beberapa penyakit, termasuklah hemiplegia dan reumatisme. Air kencing harimau digunakan untuk merawat penyakit reumatisme. Selain itu, tulang harimau dijadikan minuman keras. Jangka hayat haiwan ini berakhir dengan dijadikan bahan untuk perubatan tradisional\u2060.\nKesan penggunaan haiwan liar untuk tujuan zooterapi menyebabkan berlakunya aktiviti pemburuan secara haram. Aktiviti pemburuan haiwan ini dianggarkan melibatkan sejumlah $20 bilion dolar, terutamanya berlaku di Asia Tenggara dan China. Pemburuan haram merupakan satu daripada faktor yang menyebabkan populasi hidupan liar semakin berkurangan. Di Semenanjung Malaysia, bilangan beruang madu Malaya serta harimau Malaya telah menurun akibat pemburuan haram\u2060.\nSikap manusia yang beranggapan bahawa bahan yang dihasilkan oleh fauna lebih mujarab telah menyebabkan permintaan terhadap haiwan liar dalam menghasilkan ubat-ubatan turut meningkat. Masalah pemburuan haram, perdagangan haram dan penyeludupan hidupan liar tidak dapat diselesaikan sekiranya masyarakat masih menyokong pembelian ubat-ubatan berasaskan hidupan liar. Sebenarnya, terdapat pelbagai alternatif selain ubat berasaskan haiwan liar yang boleh digunakan untuk merawat sesuatu penyakit seperti rawatan berasaskan tumbuh-tumbuhan atau herba\u2060." "Angkasa Lepas Destinasi Pelancongan Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerkembangan teknologi angkasa lepas, ruang cakerawala tidak lagi menjadi lokasi yang mustahil sebagai destinasi pelancongan menarik yang baharu untuk diterokai manusia. Penerokaan manusia ke angkasa lepas bermula apabila program angkasa Vostok dari Kesatuan Soviet berjaya menerbangkan seorang individu ke orbit untuk kali pertama dalam sejarah.\nSejak kejayaan tersebut hingga bulan Januari 2018, sebanyak 553 orang angkasawan daripada 37 buah negara telah berjaya berlepas ke orbit. Negara yang paling banyak menghantar angkasawan ke angkasa lepas ialah Amerika Syarikat, iaitu sebanyak 339 orang, termasuklah 45 orang daripadanya terdiri daripada angkasawan wanita. Seterusnya, diikuti oleh Rusia (termasuklah Kesatuan Soviet) sebanyak 121 orang kosmonaut dan empat orang daripadanya terdiri daripada kosmonaut wanita.\nDengan kejayaan menghantar angkasawan ke angkasa, industri angkasa lepas telah membuka ruang kepada orang awam untuk ke angkasa sebagai pelancong angkasa. Program pelancongan angkasa bertujuan untuk pengembaraan dan aktiviti rekreasi di angkasa lepas.\nTerdapat beberapa jenis pelancongan angkasa, iaitu pengembaraan orbital, suborbit dan bulan. Program ini telah mendorong pertumbuhan industri pembinaan kapal angkasa pelancongan. Antara syarikat yang terlibat dengan industri ini ialah Blue Origin dan Virgin Galactic. Sebuah lagi syarikat aeroangkasa yang terlibat dengan pelancongan angkasa ialah SpaceX. Syarikat yang beribu pejabat di California ini menyediakan perkhidmatan pengangkutan angkasa dan komunikasi.\nPelancongan angkasa terhenti selama tiga tahun selepas kemalangan pesawat angkasa Columbia semasa memasuki atmosfera bumi pada bulan Februari 2003. Kemalangan ini telah menyebabkan kematian semua kakitangan pesawat tersebut. Pelancongan angkasa berfungsi semula pada tahun 2006 apabila Anousheh Ansari, seorang ahli perniagaan Iran yang menetap di Amerika Syarikat menjadi pelancong angkasa ke ISS. Beliau menjadi pelancong yang keempat ke ISS dengan menaiki kapal angkasa Soyuz TMA-9.\nDapatkan artikel penuh berkaitan dengan pelancongan angkasa ini dalam Dewan Kosmik Januari 2022 di pautan ini." "Berjalan Terapi Strok\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSering kali orang ramai mendengar bahaya strok atau angin ahmar yang menyerang dalam kalangan orang tua mahupun muda. Strok merupakan satu antara penyebab utama kematian dan ketidakupayaan di Malaysia. Masyarakat umumnya terdedah kepada risiko strok atas faktor seperti tekanan darah tinggi dan tahap kolesterol yang tinggi di dalam badan.\nStrok berlaku apabila aliran darah ke bahagian otak terganggu dan menghalang bekalan oksigen sampai ke sel otak. Keadaan ini mengakibatkan kerosakan pada fungsi otak dan menyebabkan bahagian badan yang dikawal oleh bahagian otak tidak berfungsi, kehilangan memori, pengurangan pada kederiaan sakit atau suhu, gangguan emosi, dan masalah psikologi. Amat membimbangkan lagi, kebanyakan pesakit strok memerlukan tempoh pemulihan yang agak panjang sebelum dapat pulih kepada keadaan kendiri sebelumnya.\nKebanyakan pesakit strok mengalami kesukaran untuk melakukan aktiviti fizikal seperti berjalan. Pesakit yang diserang strok disarankan untuk mengamalkan senaman yang bersesuaian untuk mengembalikan keupayaan pergerakan yang sudah kurang. Senaman merupakan satu daripada proses rehabilitasi untuk membantu pesakit strok mencapai tahap kefungsian dan kecergasan fizikal yang optimum. Senaman merupakan subset daripada aktiviti fizikal yang perlu dilakukan secara berulang-ulang mengikut kesuaian pesakit strok. Perkara penting bagi kecergasan fizikal termasuklah kecergasan kardiorespiratori dan kekuatan otot untuk melakukan aktiviti seharian. Pada kebiasaannya, tahap kecergasan fizikal pesakit terjejas selepas diserang strok. Kecergasan kardiorespiratori pesakit strok akan menurun pada kadar 50 peratus berbanding dengan individu yang sihat walaupun pada umur dan jantina yang sama.\nBeberapa bentuk senaman untuk pesakit strok perlu menggabungkan komponen kardiorespiratori, iaitu berjalan dan latihan kekuatan otot terutamanya otot bahagian atas anggota badan. Aktiviti senaman secara kendiri mahupun berkumpulan dalam kalangan pesakit strok disarankan bagi meningkatkan kesungguhan dan momentum senaman secara berpanjangan. Selain daripada keseronokan melakukan senaman, pesakit strok juga mendapat kelebihan daripada aspek peningkatan kecergasan dan kognitif, kekuatan otot dan keseimbangan badan, kestabilan emosi dan peningkatan kualiti kehidupan selepas mengalami strok.\nPesakit yang menghidap strok berisiko untuk duduk berpanjangan dan tidak aktif. Pesakit strok digalakkan untuk melakukan aktiviti fizikal dengan cara selamat. Sebagai contohnya, aktiviti berjalan selepas pemulihan selepas strok amatlah disarankan.Terkini, peranti sistem robotik dan alat mekanikal yang dikendalikan secara elektrik atau elektromekanik telah dibangunkan untuk membantu pesakit strok meningkatkan langkah dan corak berjalan.\nAktiviti berjalan ialah pergerakan yang mencetuskan rangsangan dan meningkatkan aliran oksigen ke otak. Aktiviti berjalan selepas strok sangat bermanfaat kerana otak memerlukan rangsangan untuk mempelajari semula gerakan yang telah hilang. Berjalan juga meningkatkan kekuatan otot yang mungkin mengalami atrofi akibat strok.\nKesan strok ringan selalunya mudah diatasi namun strok yang lebih serius berkemungkinan mengakibatkan hilang upaya yang teruk dan kekal. Justeru, sokongan dan bantuan emosi daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan petugas kesihatan amatlah penting kerana boleh membantu dalam proses pemulihan pesakit strok. Fisioterapi boleh membantu dan menyokong agar pesakit strok lebih berdikari selepas menerima rawatan dan latihan. Ahli fisioterapi sentiasa menggalakkan aktiviti fizikal dalam kalangan pesakit strok agar dapat meningkatkan tahap kesihatan dan membantu kestabilan emosi." "Manfaat Ulam kepada Warga Emas\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nUlam merupakan sayuran segar tradisional yang biasa dimakan dengan sambal yang difermentasi, cencaluk, budu, herba aromatik, atau rempah-ratus, terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu sebagai hidangan sampingan\u00a0 bersama-sama\u00a0 nasi. \u00a0Ulam juga kerap diambil oleh populasi lain di rantau Asia termasuklah Indonesia, Thailand, India, dan Korea. Rasa ulam ada yang manis atau pahit mengikut jenis dan variasi.\nUlam sangat digemari dalam kalangan penduduk di negara ini kerana semakin ramai yang menyedari akan penjagaan kesihatan dan memilih makanan yang tidak dicemari oleh bahan kimia atau racun perosak. Ulam bukan sahaja merupakan hidangan sampingan yang popular, malah dapat mencegah dan merawat pelbagai jenis penyakit kronik.\nDi Malaysia, terdapat hampir 120 spesies ulam yang berkhasiat seperti mengandungi mineral, vitamin dan polifenol. Antara ulam yang digemari oleh rakyat Malaysia ialah ulam raja (Cosmos caudatus), selom (Oenanthe javanica), daun kesum (Polygonum minus), pegaga (Centella asiatica), dan petai (Parkia speciosa).\nTerdapat beberapa kajian yang mengenal pasti corak pengambilan ulam dalam kalangan populasi di Malaysia. Sebagai contohnnya, kajian yang dijalankan oleh Nurul Izzah (2010) yang bertajuk Tabiat Pengambilan Ulam-ulaman dalam Kalangan Orang Dewasa Pelbagai Etnik di Selangor\u00a0telah menyatakan bahawa tahap pengambilan ulam-ulaman dalam kalangan orang dewasa di Selangor adalah sebanyak 37 gram/hari bersamaan dengan secawan ulam setiap hari.\nMasyarakat Melayu merupakan golongan yang paling banyak memakan ulam berbanding dengan masyarakat Cina dan India. Ulam yang paling digemari ialah petai diikuti dengan pegaga, selom, dan ulam raja. Faktor utama yang menggalakkan pengambilan ulam ialah khasiatnya yang baik untuk kesihatan dan rasanya yang enak dan unik.\nAntara khasiat ulam adalah untuk mencegah dan merawat penyakit kerana ulam mengandungi zat yang tinggi, terutamanya polifenol dan antioksidan yang sangat penting untuk kesihatan manusia. Sebagai contohnya, pegaga boleh dibuat jus atau ditumbuk pucuk dan akarnya untuk dijadikan ubat tekanan darah tinggi.\nSelain itu, daun dan batang ulam raja pula boleh dimakan mentah sebagai sayuran untuk merawat tekanan darah tinggi dan menurunkan gula darah. Ulam juga dapat bertindak sebagai agen antipenuaan. Hal ini demikian kerana ulam mempunyai potensi sebagai makanan terapeutik. Penyediaan ulam dalam bentuk segar dan celur sangat terkenal kerana mengandungi nilai vitamin dan mineral yang tinggi.\nWarga emas merupakan golongan yang lebih cenderung untuk menghidap penyakit kronik. Hal ini demikian kerana warga emas mengalami perubahan pesat terhadap kelemahan sistem tubuh. Mereka juga mengalami perubahan hormon, kehilangan struktur simpanan dan kemerosotan fungsi tubuh. Oleh itu, bagi mengurangkan risiko mendapat penyakit kronik dalam kalangan warga emas, mereka digalakkan\u00a0 mengamalkan pemakanan sayur-sayuran, ulam-ulaman dan buah-buahan.\nKekurangan dalam pengambilan makanan dan ketidakseimbangan diet dan nutrien sering berlaku dalam kalangan warga emas bukan sahaja mengakibatkan peningkatan risiko penyakit dan memburukkan keadaan penyakit, malah boleh menurunkan kualiti hidup. Selain itu, punca pengambilan nutrien yang tidak mencukupi adalah disebabkan oleh ketidakupayaan mendapatkan makanan dan kehilangan selera makan akibat situasi kehidupan. Hal ini boleh menyebabkan kemerosotan fungsi kognitif dan penyakit kronik.\nKekurangan mikronutrien dan antioksidan dilaporkan memainkan peranan dalam penjanaan penyakit kronik dan boleh menyebabkan kemerosotan fungsi kognitif semasa penuaan. Oleh itu, kesihatan kognitif adalah penting bagi mengenal pasti ketidakupayaan warga emas dalam kehidupan sehariannya.\nDengan pengambilan ulam-ulaman lebih daripada 30 gram setiap hari dapat menjadikan memori bekerja dan memori verbal warga emas lebih baik. Selain itu, khasiat ulam yang kaya dengan antioksidan dan polifenol membuktikan bahawa ulam boleh mencegah penyakit diabetes, tekanan darah tinggi dan kanser. Polifenol dan antioksidan adalah penting untuk melindungi diri daripada penurunan kognitif melalui pencegahan apoptosis dan tekanan oksidatif.\nSementara itu, ulam juga mengandungi flavonoid yang tinggi seperti kuersetin dan kuersetin glikosida yang\u00a0 bermanfaat\u00a0 dalam\u00a0 perlindungan neurokognitif. Flavonoid dapat memberi kesan kepada otak dengan mencegah neurodegenerasi, menghalang neuroinflamasi dan mengurangkan penurunan kognitif yang berkaitan dengan penuaan.\nOleh itu, warga emas seharusnya menjadikan ulam-ulaman sebahagian daripada makanan yang perlu diamalkan dalam kehidupan. Antara panduan pemakanan ulam-ulaman yang boleh diamalkan dalam kalangan warga emas adalah seperti yang berikut:\nSecara keseluruhannya, ulam-ulaman mempunyai kandungan antioksidan dan polifenol yang tinggi dan disarankan untuk mengambilnya sekurang-kurangnya 30 gram atau secawan setiap hari bagi mengurangkan risiko kemerosotan fungsi kognitif dalam kalangan warga emas. Dengan adanya pemakanan ulam-ulaman ini dapat menggalakkan masyarakat ke arah gaya hidup sihat, memiliki status pemakanan yang lebih baik dan meningkatkan kualiti hidup dengan mengurangkan pelbagai jenis risiko penyakit.\nDr. You Yee Xing ialah Pensyarah Kanan (Program Dietetik), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia." "Sumber Biojisim ke Arah Kelestarian Tenaga\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSecara umumnya, tenaga ditakrifkan sebagai keupayaan melakukan kerja dan dapat berubah daripada satu bentuk ke bentuk yang lain. Sebagai contohnya, tenaga hidrogen kepada tenaga elektrik dan tenaga biojisim kepada tenaga biobahan api. Tenaga ini dapat dihasilkan daripada sumber yang boleh diperbaharui dan sumber yang tidak boleh diperbaharui. Sumber tenaga yang boleh diperbaharui adalah sumber tenaga yang boleh dijana semula setelah digunakan dan tidak mudah menyusut untuk suatu tempoh yang lama seperti tenaga matahari, air, angin, nuklear, dan biojisim. Sementara itu, sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui adalah sumber tenaga yang tidak boleh dijana semula setelah digunakan dan akan berkurangan untuk suatu tempoh seperti petroleum, gas asli dan arang batu. Tambahan pula, penggunaan bahan api fosil melalui proses pembakaran untuk menghasilkan tenaga telah banyak mendatangkan kesan negatif kepada alam sekitar akibat daripada pembebasan gas berbahaya ke udara seperti karbon dioksida, metana, oksida nitrogen serta zarah karbon yang mengundang kepada pemanasan global.\nOleh yang demikian, suatu strategi yang proaktif dalam menerokai sumber tenaga alternatif yang lebih mesra alam amat diperlukan untuk menjamin kualiti hidup lebih bermutu pada masa hadapan. Biojisim merupakan satu daripada sumber tenaga yang boleh diperbaharui dan berpotensi untuk diterokai secara mendalam. Tenaga yang dijana oleh biojisim boleh diperoleh daripada sisa pertanian dan penternakan seperti hampas kelapa sawit, sekam padi, sisa kumbahan haiwan, dan manusia serta proses pereputan haiwan-haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Oleh itu, penyelidikan dalam bidang biojisim bagi penghasilan sumber tenaga hijau atau bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional amatlah digalakkan. Hal ini bertepatan dengan dasar yang telah dirancang dan digariskan oleh kerajaan Malaysia seperti Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang menyasarkan penghasilan tenaga hijau ke tahap 25% pada tahun 2025, Polisi Teknologi Hijau Kebangsaan yang menitikberatkan aspek ekonomi, tenaga hijau, alam sekitar, dan sosial serta Strategi Biojisim Kebangsaan 2020.\nUmum mengetahui bahawa Malaysia ialah sebuah negara pengeluar minyak sawit utama dunia dan sangat aktif dalam sektor pertanian, terutamanya bagi tanaman komoditi. Daripada keseluruhan tanaman kelapa sawit, hanya 10% sahaja daripadanya digunakan untuk menghasilkan minyak sawit, manakala 90% lagi sisa yang kebiasaannya dikembalikan semula kepada ladang kelapa sawit untuk dijadikan baja organik atau dibiarkan terurai begitu sahaja. Alangkah ruginya jika sisa tersebut tidak dimanfaatkan melalui penerokaan teknologi moden. Sisa kelapa sawit seperti tandan buah kosong, tempurung, batang, pelepah, dan serat kelapa sawit boleh dimanfaatkan untuk pelbagai kegunaan. Antaranya ialah penghasilan pelet bagi makanan haiwan ternakan, tenaga biobahan api dan penghasilan bahan kimia daripada sumber biologi. Sebagai contohnya, penggunaan sisa kelapa sawit dalam penghasilan tenaga biobahan api dapat dibuktikan melalui penukaran cecair buangan kilang kelapa sawit kepada biogas.\nSeterusnya, biogas ini dijadikan sumber bahan api bagi membekalkan tenaga kepada kilang pemprosesan kelapa sawit dan pencawang elektrik yang secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah pencemaran alam sekitar dan kebergantungan kepada sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui. Hal ini selaras dengan sasaran negara untuk mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida ke udara dan meningkatkan penggunaan teknologi yang berasaskan biojisim pada masa akan datang.\nDi samping komoditi kelapa sawit, industri penternakan juga giat berkembang di negara ini dan dijadikan sebagai penyumbang kepada penghasilan tenaga biojisim. Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia melaporkan sebanyak 143 ladang ayam yang beroperasi di daerah Manjung, Perak berupaya membekalkan hampir 8% daripada keperluan ayam negara dengan penghasilan 1400 tan sisa najis. Pada kebiasaannya, sisa penternakan ini akan dijual kembali kepada pengusaha ladang kelapa sawit untuk dijadikan baja pertanian. Namun begitu, permasalahan lain pula timbul apabila sisa tersebut mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan, mencemarkan sumber air bersih dan mengundang serangga perosak sehingga menyebabkan persekitaran menjadi tercemar. Maka, langkah yang lebih proaktif perlu diambil supaya sisa haiwan ini dapat dikitar semula dan dimanfaatkan untuk kebaikan bersama. Oleh itu, penukaran bahan biojisim ini untuk menghasilkan biobahan api seperti biohidrogen, biometana dan bioalkohol amatlah digalakkan. Namun begitu, kandungan nitrogen dan sulfur yang tinggi daripada kumbahan haiwan ternakan ini merendahkan keupayaan penghasilan tenaga biojisim.\nWalau bagaimanapun, kajian mendapati bahawa apabila sisa haiwan dicampurkan dengan sisa tumbuhan seperti tandan kosong kelapa sawit dapat menyeimbangkan nisbah kandungan karbon dan nitrogen bagi penghasilan biobahan api. Antara kandungan utama yang terdapat dalam tandan kosong kelapa sawit ialah karbohidrat sebanyak 63%. Kandungan karbohidrat yang tinggi ini boleh diolah untuk mendapatkan glukosa melalui tindak balas hidrolisis. Proses penapaian glukosa yang terhasil dapat menghasilkan biobahan api seperti biogas dan bioetanol yang boleh dijadikan sebagai sumber tenaga diperbaharui.\nBiogas yang mempunyai kandungan metana dan karbon dioksida boleh diproses bagi menjana gas hidrogen dan digunakan sebagai bahan bakar yang mesra alam. Di samping itu, penghasilan gas tiruan atau singas, iaitu campuran gas karbon monoksida dan hidrogen juga dapat dilakukan. Gas tiruan ini amat berguna untuk menghasilkan hidrokarbon berantai panjang melalui tindak balas Fisher-Tropsch. Perlu ditekankan juga bahawa penyelidikan yang melibatkan penghasilan gas hidrogen sebagai tenaga hijau adalah selaras dengan dasar kerajaan Malaysia sejak Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8) lagi.\nSeterusnya, biogas yang terhasil daripada proses penguraian biojisim seperti metana dapat digunakan sebagai bahan bakar bagi menghasilkan tenaga elektrik. Penghasilan tenaga elektrik ini dapat dilakukan dengan menggunakan sel fuel oksida pepejal (SFOP). Hal ini kerana sifat SFOP itu sendiri yang mesra bahan bakar. Selain metana, hidrokarbon lain seperti propana, butana, oktana, dimetil eter, toluene, diesel, dan minyak sayuran juga boleh digunakan. Proses penukaran bahan bakar hidrokarbon seperti metana kepada tenaga elektrik secara kaedah elektrokimia menggunakan SFOP adalah lebih mesra alam dan sangat sesuai sebagai pembekal tenaga elektrik mudah alih ataupun tetap.\nSebagai sebuah negara yang pesat membangun, Malaysia sememangnya tidak boleh mengelak daripada krisis alam sekitar dan kemerosotan bahan bakar semula jadi seperti gas asli dan petroleum. Oleh itu, Perjanjian Paris yang ditandatangani oleh Malaysia pada tahun 2015 merupakan platform yang sangat baik untuk melonjakkan teknologi hijau seperti penggunaan hidrogen sebagai bahan bakar untuk kenderaan, rumah kediaman dan industri. Yakinlah bahawa keputusan kerajaan untuk mengurangkan sebanyak 45% pembebasan gas rumah hijau menjelang tahun 2030 akan tercapai. Hal ini disebabkan oleh Malaysia mempunyai kelebihan dari segi pengeluaran sumber biojisim yang banyak dan berterusan untuk dimanfaatkan. Pelbagai inisiatif juga telah disediakan oleh pihak kerajaan kepada penggiat industri dan pemilik ladang ternakan serta tanaman komoditi untuk menceburkan diri dalam teknologi biojisim. Peluang ini harus digarap kerana dapat membuahkan hasil yang sangat menguntungkan untuk jangka masa panjang. Di samping itu, kerjasama antara universiti dan industri serta pihak kerajaan dan swasta amat penting dalam memastikan kelangsungan industri biojisim ini berterusan.\nKesimpulannya, jika Strategi Biojisim Negara 2020 diterjemahkan secara bersungguh-sungguh, Malaysia mampu membuka beribu-ribu peluang pekerjaan dan keuntungan yang berlipat kali ganda daripada teknologi yang berasaskan biojisim. Industri biojisim ini tidak harus tertumpu kepada kelapa sawit sahaja bahkan harus diperluas kepada sisa pertanian dan penternakan lain. Kejayaan Malaysia dalam mengetengahkan teknologi biojisim bergantung pada cara untuk menyeimbangkan antara keperluan alam sekitar, sosial dan ekonomi." "Buku Berbahasa Melayu Pemangkin Jalinan Malaysia\u2212China\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nBeijing \u2212 Kementerian Luar Negeri Malaysia sedang memfokuskan promosi Diplomasi Kebudayaan melalui Pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia di Luar Negara (Malawakil), menerusi Program Pengantarabangsaan Bahasa dan Persuratan Melayu. Usaha ini selari\u00a0 dengan aspirasi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, agar bahasa Melayu dimartabatkan di peringkat antarabangsa.\n\u201cTindakan ini juga selaras dengan Kerangka Dasar Luar Negara Malaysia yang telah menetapkan peranan Malawakil untuk menggalakkan dan menyelaraskan kerjasama antarabangsa dalam bidang pendidikan bahasa Melayu\u201c, ujar TYT Raja Dato\u2019 Nushirwan Zainal Abidin, Duta Besar Malaysia ke China pada 29 Mac 2022 di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.\nRaja Dato\u2019 Nurshirwan juga berkata, majlis penyerahan buku-buku berbahasa Melayu pada hari ini merupakan pemantapan bagi usaha menyokong peranan yang dimainkan oleh tenaga pengajar Pengajian Melayu di institusi pendidikan di China.\nMajlis ilmu ini penuh bermakna dengan sesi penyerahan buku-buku berbahasa Melayu kepada universiti-universiti di China yang telah disempurnakan oleh TYT Raja Dato\u2019 Nushirwan Zainal Abidin, Duta Besar Malaysia ke China. Yang menariknya, selain majlis penyerahan buku-buku berbahasa Melayu yang melibatkan dua buah universiti di Beijing, iaitu Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU) dan Universiti Komunikasi China (CUC), juga diadakan sesi memperkenalkan sajian kuih-muih Malaysia.\nMajlis ini telah diselaraskan oleh Pejabat Pendidikan Malaysia Beijing dan telah dihadiri oleh Prof. He Jing, Pengarah Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa BFSU, Prof. Shu Xiaomei, Pengarah Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa CUC, para pensyarah Pengajian Melayu di BFSU dan CUC serta pegawai-pegawai di Kedutaan.\nNegara China juga menyambut baik usaha pihak Kedutaan Malaysia dan pihak universiti yang sentiasa mengalu-alukan sebarang bantuan dan sokongan bagi usaha pengembangan dan pemantapan bahasa Melayu di China.\nMenurut Ts. Abdul Aziz How Abdullah, Pengarah Pendidikan Malaysia Beijing, inisiatif penyerahan buku-buku berbahasa Melayu ini merupakan usaha awal dari pejabat Pendidikan Malaysia Beijing dan mendapatkan sokongan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing. Hasil komitmen dan sokongan Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Luar Negeri Malaysia dan China, serta kerjasama daripada Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, akhirnya bekalan buku-buku tersebut telah selamat sampai ke China dan diterima dengan baik oleh pihak universiti.\nUsaha pengembangan dan pemantapan Bahasa Melayu di China sentiasa menjadi keutamaan Kedutaan Besar Malaysia di China dengan terus menyokong keperluan dan bantuan bahan bacaan dalam bahasa Melayu yang diperlukan oleh institusi pendidikan di China.\nDi China, lebih kurang 15 buah universiti mempunyai program bahasa Melayu dan Pengajian Melayu, yang tenaga pengajarnya terdiri daripada 36 orang pensyarah dari China dan sembilan orang pakar dari Malaysia. Sebanyak 446 orang mahasiswa dan mahasiswi China sedang mengikuti program tersebut, manakala jumlah lepasan jurusan Bahasa Melayu telah mencecah kepada 800 orang." "Penerokaan ke Gua Kelam Secara Maya Tarikan Baharu Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDunia pelancongan Perlis terus mencipta sejarah baru-baru ini menerusi kejayaan memperkenalkan penerokaan ke gua secara maya di Gua Kelam, Kaki Bukit, Perlis. Lebih membanggakan apabila penerokaan ke Gua Kelam secara maya ini merupakan program penerokaan yang pertama di Malaysia dan yang kedua di Asia Tenggara. Program penerokaan ini adalah antara tarikan baharu kepada semua pelancong yang melawat ke Gua Kelam.\nPenerokaan ke Gua Kelam secara maya adalah hasil kerjasama daripada Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dengan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, Perlis. Program penerokaan ini jelas membuktikan bahawa industri pelancongan Perlis telah menghasilkan sesuatu yang menakjubkan dan mengharumkan nama Perlis di mata dunia.\nKepakaran tenaga muda tempatan telah berjaya menghasilkan siri penerokaan ke Gua Kelam secara maya dengan sangat cemerlang. Pengenalan produk pelancongan secara maya di Gua Kelam memberi peluang kepada orang ramai dan pelancong yang berasa takut untuk memasuki gua secara fizikal bagi merasai pengalaman seperti berada di dalam gua.\nOleh yang demikian, Kerajaan Negeri Perlis telah melihat potensi pelbagai lokasi pelancongan menarik seperti di kawasan hutan, bukit-bukau dan sungai untuk dilawati dengan menggunakan teknologi maya. Hal ini demikian kerana pelancongan seperti ini dapat memberi banyak kelebihan kepada orang ramai.\nPenerokaan ke Gua Kelam secara maya memberi peluang kepada masyarakat, pelancong, golongan warga emas, dan orang kurang upaya merasai pengalaman penerokaan ke gua secara maya. Selain itu, penerokaan ini menjadi alternatif kepada pelancong jika laluan biasa ditutup atas faktor keselamatan. Pelancong yang ingin melawat ke Gua Kelam masih boleh melakukan penerokaan ke Gua Kelam secara maya di samping menjimatkan masa.\nOleh itu, pihak Jabatan Perhutanan Negeri Perlis telah merancang untuk\u00c2\u00a0 membangunkan aplikasi maya di Google Play Store agar mudah diakses oleh orang ramai dan pelancong tanpa perlu melawat ke Gua Kelam secara fizikal. Kini, penerokaan ke Gua Kelam secara maya dibuka kepada orang ramai dengan bayaran masuk sebanyak RM10.00 ke Galeri Gua Kelam, Kaki Bukit, Perlis." "Perkembangan dan Potensi Teknologi Dron\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKenderaan udara tanpa pemandu atau pesawat udara tanpa juruterbang dikenali sebagai dron. Dron mampu menjadi alat yang boleh mengubah cara hidup manusia. Oleh sebab dron merupakan alat terbang tanpa memerlukan pemanduan dalam pesawat, hal ini telah menjadikannya berpotensi untuk membantu manusia menyelesaikan urusan yang sukar dilakukan dan lebih meluas seperti mendapatkan maklumat dari udara, merentasi halangan berbahaya dan sebagainya.\nTeknologi dron mendapat perhatian masyarakat pada awal abad ke-21. Pada tahun 2013, Ketua Pegawai Eksekutif Amazon, Jeff Bezos telah melancarkan pelan mengkomersialkan dron kepada masyarakat untuk digunakan dalam aktiviti seharian. Hasilnya, dron dicipta dalam bentuk dan fungsi yang sesuai bagi kegunaan masyarakat.\nDron merupakan objek terbang yang menggunakan prinsip Bernoulli bagi menghasilkan daya untuk mengangkat badan dron. Bagi memastikan dron berfungsi dengan baik, dron harus memiliki lima komponen asas seperti punca kuasa, pemutar, kipas, badan pesawat, dan alat kawalan jauh.\nSementara itu, kamera yang dipasang pada dron untuk dikomersialkan adalah berdasarkan kualiti dan memberikan kesan kepada harga dron. Dron yang memiliki teknologi kamera lengkap dengan koordinat dan kualiti tinggi dapat memberikan manfaat kepada pengguna. Sebagai contohnya, kamera yang memiliki piksel tinggi dapat membantu pengguna untuk mengenal pasti maklumat dengan jelas dalam imej yang diambil dengan menggunakan dron.\nDron memiliki empat jenis reka bentuk dengan kelebihan dan kekurangan bagi setiap reka bentuk, iaitu dron pemutar tunggal, dron berbilang pemutar, dron sayap tetap, dan dron hibrid sayap tetap.\nKini, penggunaan dron semakin meluas. Antara kegunaan dron adalah mengenal pasti ciri-ciri topografi, menilai bahaya sesebuah kawasan, pengesahan imej satelit, pengesahan model berkomputer, pengawalan kemusnahan akibat tanaman dan haiwan, dipraktikkan dalam penyelidikan dan digunakan dalam pelbagai sektor seperti ketenteraan dan pertahanan negara, operasi penyelamat, bantuan bencana dan kemanusiaan, konservasi alam sekitar, pengawalan penyakit, pertanian, perancangan pembinaan, dan komunikasi.\nPada tahun 2020, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia telah memberikan kelulusan khas kepada agensi kerajaan untuk menerbangkan dron dalam beberapa keadaan, termasuklah dalam pengoperasian keselamatan negara.\nSeterusnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan Unit Dron, yakni mereka menggunakan dron sebagai satu daripada alat pengesan kebakaran dan kenderaan udara tanpa pemandu untuk membawa bahan bagi memadamkan kebakaran di lokasi yang sukar diakses oleh kenderaan darat pasukan bomba.\nKesimpulannya, konsep integrasi pelbagai teknologi dalam struktur pesawat tanpa pemandu telah memudahkan urusan yang pada dahulunya sukar. Selain itu, kelebihan dron dapat mengembangkan limitasi manusia untuk melihat sesuatu dengan lebih meluas. Namun begitu, ilmu dan perkembangan teknologi ini harus dikawal supaya kelebihan teknologi dalam membantu manusia adalah pada landasan yang betul.\nDapatkan artikel penuh berkaitan dengan teknologi dron ini dalam Dewan Kosmik Januari 2022 di pautan ini." "Varian Omicron Semakin Menular\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Berdasarkan kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 6 Januari 2022, sebanyak 44 kes positif COVID-19 telah disahkan varian Omicron melalui jujukan genom penuh yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Perubatan dan tujuh kes positif COVID-19 jangkitan tempatan di Sarawak telah disahkan varian Omicron oleh Universiti Malaysia Sarawak. 44 kes tersebut terdiri daripada kes jangkitan import, iaitu dari Arab Saudi (29 kes), Emiriah Arab Bersatu (5 kes), Kazakhstan (5 kes), United Kingdom (3 kes), Amerika Syarikat (1 kes) dan Tanzania (1 kes).\nKebanyakan kes tersebut merupakan daripada jemaah umrah yang pulang ke Malaysia. KKM menasihatkan agar individu yang diarahkan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah untuk terus mematuhi arahan tersebut. Individu yang dijangkiti COVID-19 perlu kekal berada di dalam bilik yang berasingan dan tidak menemui sesiapa pun bagi mengelakkan penularan virus ini. KKM juga menyarankan individu yang layak menerima vaksin COVID-19 untuk mendapatkan dos penggalak bagi mencapai tahap perlindungan yang optimum dan mengelakkan jangkitan COVID-19 yang teruk serta komplikasinya.\nKKM memaklumkan bahawa ujian jujukan genom penuh terhadap sampel yang menunjukkan varian Omicron masih dijalankan oleh pihak KKM dan setiap perkembangannya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.\nSementara itu, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) juga telah memberikan kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin Convidecia (CanSino) sebagai dos penggalak kepada individu yang berumur 18 tahun dan ke atas dengan jarak masa tiga bulan hingga enam bulan selepas menerima dos pertama daripada vaksin yang sama. Pemegang pendaftaran bagi vaksin ini ialah Solution Biologics Sdn. Bhd. dan dikilangkan oleh CanSino Biologics Inc., China.\nSejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilaksanakan, sebanyak 57 119 777 dos vaksin COVID-19 telah diberikan kepada penerima vaksin, termasuklah 5 719 456 dos penggalak. Demam, kesakitan pada tempat suntikan, sakit kepala, dan keletihan merupakan antara kesan yang paling kerap dilaporkan oleh penerima vaksin.\nSetiap pemberian dos penggalak akan dilakukan melalui janji temu yang diberikan melalui aplikasl MySejahtera atau khidmat pesanan ringkas (SMS). Walau bagaimanapun, individu yang ingin mendapatkan dos penggalak juga boleh menghubungi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang disenaraikan dalam laman sesawang ProtectHealth untuk mendaftar dalam senarai menunggu klinik berkenaan.\nBagi meningkatkan kapasiti pemberian vaksinasi dos penggalak di Lembah Klang, empat PPV integrasi dengan kapasiti yang lebih besar telah dikenal pasti dan akan mula beroperasi pada 15 Januari 2022. PPV integrasi tersebut ialah PPV World Trade Centre, Kuala Lumpur, PPV Axiata Arena, Bukit Jalil, PPV IDCC, Shah Alam, dan PPV Soka Gakkai, Klang.\nSelain itu, PBKD telah bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat bagi produk vaksin Comirnaty 10 mcg Concentrate for Dispersion for Injection yang diluluskan untuk imunisasi COVID-19 kepada kanak-kanak berumur lima tahun hingga 11 tahun. Kekuatan vaksin ini lebih rendah berbanding dengan vaksin Comirnaty yang diberikan kepada individu yang berusia 12 tahun dan ke atas.\nSeterusnya, Comirnaty 30 mcg Solution for Injection merupakan vaksin Comirnaty dengan formulasi baharu yang tidak memerlukan pencairan dan mempunyai tempoh jangka hayat yang lebih panjang, iaitu 10 minggu berbanding dengan formulasi sedia ada apabila disimpan pada suhu 2\u00b0C hingga 8\u00b0C setelah dinyahbeku. lndikasi Comirnaty ini adalah untuk imunisasi COVID-19 kepada individu yang berumur 12 tahun dan ke atas." "Menghargai Kesihatan Mata\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMata ialah organ untuk mengesan cahaya. Mata berbentuk hampir sfera dan berisi cecair berlendir jernih yang dikenali sebagai gelemaca. Secara umumnya, mata berfungsi untuk memastikan kawasan di sekeliling berada dalam keadaan terang atau gelap. Dalam konteks yang lebih khusus, mata bertindak sebagai deria penglihatan.\nMata mempunyai dua bahagian, iaitu bahagian luar dan bahagian dalam. Kedua-dua bahagian ini memiliki peranan dan fungsinya yang tersendiri dan saling bergantung antara satu sama lain. Organ ini perlu diberikan perhatian dan penjagaan rapi agar fungsinya memberikan daya penglihatan tidak terganggu. Kerosakan fungsi mana-mana bahagian mata memberikan impak yang sangat mendalam kepada kehidupan manusia dari sudut fizikal, emosi, dan rohani.\nStruktur Mata\nBahagian luar mata terdiri daripada empat jenis organ aksesori, iaitu kelopak mata, bulu mata, kening dan kelenjar mata.\nBahagian dalam mata terdiri daripada beberapa komponen yang fungsinya berkesinambungan. Komponen bahagian dalam mata dengan fungsinya adalah seperti yang berikut:\n\u00a0\nMasalah Penglihatan\nMasalah penglihatan merujuk masalah yang melibatkan fungsi sebagai deria penglihatan yang disebabkan oleh penyakit mata, kecederaan atau abnormaliti struktur mata sejak lahir.\u00a0 Hal ini menghalang penglihatan normal atau ketajaman penglihatan pada satu atau kedua-dua belah mata. Penyakit mata boleh menyebabkan masalah penglihatan menjadi serius dan boleh membawa kematian jika tidak diberi rawatan segera. Antara masalah penglihatan yang biasa dalam kalangan masyarakat adalah seperti yang berikut:\nKepentingan Menjaga Mata\nPada saat dunia dilanda pandemik COVID-19, organ mata perlu diberikan perhatian serius. Virus COVID-19 tidak hanya memberikan kesan kepada sistem pernafasan, sebaliknya virus tersebut juga mampu tersebar ke seluruh organ utama dalam badan manusia termasuklah melalui mata. Virus ini mampu berkumpul dan berkembang sebagai selaput lendir pada permukaan, kelopak dan bahagian dalam mata yang sekali gus mempengaruhi penglihatan.\nMenurut kajian, hampir 18 peratus pesakit COVID-19 mengalami masalah sensitif terhadap cahaya yang dikenali sebagai fotofobia. Keadaan ini menjadikan mata menjadi sensitif yang melampau terhadap cahaya dan pesakit akan cuba mengelak daripada cahaya matahari atau tempat terang. Hal ini mengakibatkan pesakit mengalami gangguan penglihatan dan biasanya disertai dengan sakit kepala.\nTanggungjawab untuk memelihara kesihatan mata tidak sepatutnya dilupakan.\u00a0 Penjagaan kesihatan dan pemakanan seimbang amat penting untuk memastikan mata dapat berfungsi dengan baik. Amalan makan makanan yang kaya dengan vitamin A dan vitamin C seperti susu, lobak, brokoli, aprikot, dan anggur dapat menjaga kesihatan mata. Pemeriksaan mata secara berkala amat penting dan perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat untuk mengetahui status penglihatan masing-masing." "Bahaya Stres terhadap Kesihatan Jantung\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Pandemik menuntut masyarakat untuk sentiasa bersedia dengan segala perubahan. Kebanyakan pekerja telah kembali bekerja di pejabat masing-masing sepenuhnya setelah sekian lama bekerja dari rumah. Perubahan ini menyebabkan segelintir masyarakat mengalami stres kerana perlu berhadapan dengan faktor kesesakan jalan raya dan sebagainya. Oleh itu, Sekretariat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan webinar yang bertajuk Apa Kesan Stres terhadap Kesihatan Jantung? hari ini secara dalam talian melalui aplikasi Zoom dan Facebook rasmi Fakulti Sains dan Teknologi, UKM.\nWebinar yang berlangsung selama satu jam setengah itu dikendalikan oleh Profesor Madya Dr. Darfizzi Derawi, pensyarah UKM selaku moderator, manakala tetamu jemputan dalam program tersebut ialah Dr. Iskandar Mirza Amran, Felow Klinikal Kardiologi dan Pakar Perubatan Dalaman, Institut Jantung Negara yang juga merupakan ahli MedTweetMY.\nMenurut Dr. Iskandar Mirza, setiap orang mempunyai stres. Walau bagaimanapun, stres yang berlaku dalam masa panjang adalah suatu yang tidak sihat. Hal ini demikian kerana terdapat rembesan hormon yang boleh merosakkan kesihatan jantung apabila berlaku stres. Seseorang yang mengalami stres akan merembeskan dua jenis hormon, iaitu kortisol dan adrenalina. Kedua-dua hormon ini menyebabkan degupan dan tekanan jantung meningkat seterusnya menyebabkan peningkatan tenaga dan gula dalam darah.\n\nTambah beliau, jika stres berlaku dalam tempoh masa yang singkat, keadaan ini adalah normal. Walau bagaimanapun, jika situasi ini berlaku dalam jangka masa panjang, individu tersebut berisiko untuk menghidap darah tinggi. Keadaan ini menyebabkan otot jantung membengkak sehingga menyebabkan darah yang masuk ke dalam jantung berkurangan. Akhirnya, fungsi jantung akan terjejas sehingga mengakibatkan serangan jantung dan strok.\nDr. Iskandar Mirza turut menjelaskan pelbagai faktor yang membolehkan seseorang itu mengalami stres adalah seperti masalah keluarga, masalah di tempat kerja dan paling utama pada zaman pandemik ini ialah masalah kewangan. Setiap orang mempunyai tahap stres yang berlainan dan cara yang berlainan untuk mengawal stres tersebut, termasuklah melakukan sesuatu aktiviti yang tidak sihat.\nBeliau berkata, \u201cAda antara individu memilih merokok untuk mengawal stres sehingga merokok secara berlebihan dan akhirnya menyebabkan individu tersebut mendapat serangan jantung dan strok. Terdapat juga golongan yang memilih untuk makan secara berlebihan dan memakan makanan yang tidak sihat apabila stres sehingga mengalami obesiti, akhirnya mendapat serangan jantung. Seseorang yang stres juga kebanyakannya memilih untuk tidak aktif sehingga membawa kepada serangan jantung.\u201d\nMengulas lebih lanjut, beliau mengatakan bahawa terdapat beberapa tanda awal seseorang itu mengalami stres, iaitu sakit kepala, sakit belakang dan sakit perut. Bagi seseorang yang telah mengalami stres kronik pula mungkin mempunyai simptom seperti rasa kurang bertenaga, tidur tidak lena, mudah marah, dan pelupa.\nMenurut Dr. Iskandar Mirza lagi, antara kesihatan mental negatif yang boleh menyebabkan seseorang itu mendapat serangan jantung dan strok ialah kemurungan, stres yang kronik, kebimbangan, kemarahan, pesimisme, dan rasa tidak puas hati dengan kehidupan. Hal ini demikian kerana kesan kesihatan mental negatif dalam jangka masa yang lama akan menyebabkan degupan jantung tidak sekata, masalah pencernaan, peningkatan tekanan darah, peningkatan tahap keradangan dalam badan, dan pengurangan pengaliran darah ke otot jantung.\nKesihatan mental positif sangat penting dalam diri seseorang kerana mampu mengurangkan tekanan darah, kawalan gula yang optimum, pengurangan kadar keradangan dan pengurangan paras kolesterol yang boleh mengelakkan diri daripada serangan jantung dan strok.\nBeliau turut mencadangkan beberapa aktiviti untuk mengurangkan stres seperti bersukan, meluangkan masa bersama-sama keluarga dan rakan-rakan, mendapat tidur yang secukupnya, mengamalkan teknik relaksasi, dan mencari hobi yang membina.\nDr. Iskandar Mirza turut menasihatkan agar individu yang mengalami stres untuk berjumpa dengan kaunselor, ahli psikologi atau pakar psikiatrik bagi mendapatkan pandangan dan rawatan lanjut jika segala usaha yang dilakukan tidak berhasil bagi mengelakkan stres tersebut berlanjutan." "Sokong Usaha Program Penghijauan Malaysia \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Perlis \u2013 Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan simbolik penanaman 54 batang pokok di Kampung Seberang Jaya, petang semalam.\n\nPokok-pokok yang disumbangkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis diharapkan dapat membantu bertindak sebagai penampan atau pemecah angin bagi mengurangkan kesan langsung kepada kawasan perumahan jika berlaku angin kencang di kampung tersebut.\nPengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Ag. Shaffie Ag. Ahmadni yang hadir dalam majlis perasmian tersebut berkata, \u201cSebanyak 54 batang pokok dipilih bersempena dengan usia DYTM Tuanku Raja Muda Perlis yang baru sahaja menyambut hari ulang tahun yang ke-54 pada 30 Disember 2021 lalu.\u201d\nMenurut Ag. Shaffie, pelaksanaan penanaman pokok pada kali ini merupakan sebahagian daripada Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok. Kempen ini dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran semua pihak akan pentingnya kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambah baik ekosistem dan biodiversiti negara ini.\n\u201cMarilah kita bersama-sama menyokong usaha Program Penghijauan Malaysia dengan membudayakan amalan menanam pokok untuk kehidupan yang lebih sejahtera bagi generasi kini dan akan datang sesuai dengan slogannya \u201cPokok Kita, Kehidupan Kita,\u201d titah baginda.\nKampung Seberang Jaya adalah satu daripada kampung yang terlibat dengan Program Transformasi Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis yang dilaksanakan bersama-sama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis dan Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis dengan kerjasama pelbagai agensi, pasukan keselamatan, institut pengajian tinggi, dan pihak swasta." "Peranan Elektrofisiologi dalam Perhubungan Sel\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nElektrofisiologi merupakan kajian mengenai aliran elektrik dalam sel dan tisu organisma. Bidang ini mengkaji cara sel dan tisu berhubung antara satu sama lain dan menjadi penyelidikan penting mengenai fisiologi sel. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, elektro- bermaksud awalan asing berkaitan dengan tenaga atau proses elektrik, manakala fisiologi bermaksud proses dan fungsi keseluruhan atau sebahagian daripada sesuatu organisma. Antara organ terpenting dalam manusia, iaitu otak banyak menggunakan hubungan ini. Hal ini dikatakan demikian kerana otak melibatkan penghantaran maklumat daripada satu neuron ke neuron yang lain dalam bentuk elektrik.\nIndividu pertama yang menjumpai teknik elektrofisiologi ialah Emil Heinrich du Bois-Reymonds, pakar perubatan dan ahli fisiologi dari Jerman. Pada tahun 1950, Alan Hodgkin dan Andrew Huxley telah menjalankan kajian aktiviti elektrik sel dengan menggunakan akson sotong gergasi yang berdiameter besar, iaitu kira-kira satu milimeter. Kajian ini telah berjaya memenangi Hadiah Nobel pada tahun 1963. Seterusnya, usaha murni ini diteruskan oleh Erwin Neher dan Bert Sakmann yang memperkenalkan teknik patch clamp dalam elektrofisiologi yang mengkaji saluran ion dalam sel. Kajian ini juga telah memenangi Hadiah Nobel dalam bidang perubatan pada tahun 1991.\nSelain daripada mengkaji aktiviti elektrik di peringkat sel dan neuron, elektrofisiologi juga penting dalam meneliti kesannya pada tisu, organ dan sistem badan manusia. Sebagai contohnya, apabila sekumpulan neuron yang telah dipencilkan daripada sumber haiwan atau manusia didedahkan kepada sesuatu minuman, makanan dan bahan kimia, kesannya terhadap sumber tersebut dapat diketahui dengan menggunakan ilmu elektrofisiologi.\nKajian Desiree dan pasukan penyelidikannya pada tahun 2007 yang bertajuk The Memory-Impairing Effects of Septal GABA Receptor Activation Involve GABAergic Septo-Hippocampal Projection Neurons telah menentukan kesan musimol terhadap otak dengan menggunakan teknik elektrofisiologi. Musimol ialah satu daripada bahan psikoaktif kimia yang terdapat dalam kulat daripada spesies Amanita muscaria. Hasil kajian tersebut mendapati musimol dapat melemahkan daya ingatan, khususnya di bahagian hipokampus pada otak yang memainkan peranan dalam daya pembelajaran dan ingatan. Musimol bertindak pada sel neuron dan seterusnya memberikan kesan negatif kepada kekuatan jaringan antara neuron dan neuron persekitarannya dengan mengaktifkan reseptor GABA. Hal ini mengakibatkan ilmu atau memori baharu tidak dapat disebarkan ke neuron bersebelahan. Lama-kelamaan, memori tersebut akan hilang sebelum sempat disimpan daripada memori sementara ke memori jangka panjang.\nAntara kajian lain yang menggunakan teknik elektrofisiologi termasuklah kajian Wiliams dan pasukan penyelidikannya dari Amerika Syarikat pada tahun 2004 yang bertajuk Age-Related Effects of Ginkgo Biloba Extract on Synaptic Plasticity and Excitability. Kajian ini menggunakan ginkgo biloba, iaitu sejenis tumbuhan herba yang sering digunakan dalam bidang perubatan tradisional dan moden. Hasil kajian menunjukkan bahawa ekstrak eGb 761 daripada ginkgo biloba menunjukkan kesan yang baik dalam daya ingatan. Ekstrak tersebut \u00c2\u00a0mengaktifkan neuron dengan memperbanyak dan memanjangkan impuls yang dikeluarkan oleh neuron ke neuron bersebelahan. Ekstrak ini juga dikatakan mampu merangsang glutamatergic, iaitu bahan untuk mengaktifkan neuron.\nElektrofisiologi juga dapat menentukan keabnormalan otak dengan mengkaji keabnormalan impuls yang dihasilkan oleh neuron. Keabnormalan ini boleh terjadi secara semula jadi atau dihasilkan daripada tindak balas kimia tertentu yang menghasilkan gangguan semasa proses pembentukan sarung mielin atau penurunan jaringan sinaps neuron.\nKajian lain yang dilakukan oleh Claudio Babiloni dan pasukan penyelidiknya pada tahun 2019 mendapati bahawa kajian elektrofisiologi berupaya menjadi alat bagi menentusahkan kebolehan sesuatu bahan kimia dan kesannya kepada jarian neuron. Kajian tersebut juga mendapati elektrofisiologi boleh menentukan proses perhubungan antara neuron dan reseptor yang terlibat secara individu atau keseluruhannya dan kekuatan hubungan elektrikal antara neuron. Di samping itu, elektrofisiologi boleh menjadi alat utama yang menghubungkan kajian pra-klinikal ke kajian klinikal sebelum sesuatu bahan kimia yang berpotensi boleh digunakan oleh manusia.\nDi Malaysia, kajian elektrofisiologi masih baharu dan peluang masih terbuka luas kepada saintis untuk meneroka dan memahami bidang ini, terutamanya dalam elektrofisiologi tumbuhan. Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian flora menjadikan banyak penyelidikan berpotensi tinggi boleh dijalankan menggunakan elektrofisiologi, terutamanya yang melibatkan tumbuhan spesies endemik tempatan." "Amukan Raja Rimba: Apakah Puncanya?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBerita kematian orang asli di Kampung Sau, Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan yang dibaham harimau baru-baru ini dan kelibat harimau yang berkeliaran berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Balar memberikan petanda bahawa habitat raja rimba ini sedang diancam dan diceroboh. Fungsi utama ekosistem hutan yang menyimpan pelbagai khazanah flora dan fauna telah diganggu dan berlakunya ketidakseimbangan ekologi dan memberikan kesan terhadap penghuni yang mendiaminya. Isu pembalakan hutan yang berleluasa tanpa memikirkan kelestarian alam telah mengganggu habitat harimau.\nPemangsa yang sedia ada, iaitu haiwan yang lebih kecil seperti kancil, pelanduk atau rusa semakin berkurangan jumlahnya. Hal ini menyebabkan harimau keluar daripada habitat asalnya untuk mencari sumber makanan yang baharu. Gangguan ekologi hutan menjadi semakin parah apabila berlakunya fenomena perubahan cuaca dunia disebabkan oleh kesan pemanasan global, misalnya hujan tanpa henti sehingga mengakibatkan banjir. Harimau akan berkeliaran untuk mencari pemangsa di pinggir hutan yang didiami oleh penduduk asal, iaitu orang asli. Perkara ini sekali gus menyebabkan berlakunya konflik antara harimau dengan manusia.\nSejak tahun 2016 lagi, isu pembalakan haram di kawasan perkampungan orang asli telah dilaporkan. Pada tahun tersebut, Persatuan Pembalak Kelantan telah mendakwa terdapat sejumlah 15 buah syarikat pembalakan yang memegang lesen konsesi balak mengalami kerugian hampir RM50 juta selepas dihalang oleh sekumpulan orang asli untuk membawa keluar 50 000 tan metrik kayu balak yang ditebang di Hutan Simpan Balah.\nSituasi ini berlaku ekoran daripada penahanan lori balak oleh orang asli daripada membawa keluar balak yang telah ditebang. Penebangan balak yang berleluasa tanpa memikirkan kelestariannya telah menyebabkan alam sekitar musnah. Bukan itu sahaja, keadaan ini memberikan kesan terhadap orang asli untuk menyara kehidupan mereka yang bergantung pada hasil hutan. Lebih menyedihkan lagi apabila nyawa mereka turut terancam apabila haiwan liar keluar daripada habitatnya dan menjadikan manusia sebagai sumber makanan.\nAntara tahun 1991 hingga tahun 2007, terdapat 2560 aduan telah dilaporkan oleh orang ramai berkaitan dengan harimau, termasuklah laporan kelihatan kelibat harimau berkeliaran berhampiran dengan kampung atau ladang. Hampir saban tahun terdapat laporan bahawa riwayat hidup harimau akan berakhir apabila terpaksa ditembak oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) semasa proses penangkapan.\nHarimau Malaya atau nama saintifiknya, Panthera tigris jacksoni tergolong dalam keluarga Felidae dan genus Panthera. Nama jacksoni diambil daripada nama seorang konservator harimau, iaitu Peter Jackson. Laporan daripada PERHILITAN mendapati bahawa jumlah spesies haiwan ini di Malaysia setiap tahun semakin berkurangan. Hingga kini, jumlahnya adalah kurang daripada 200 ekor. Jika dibandingkan dengan keluasan hutan di Malaysia, populasi haiwan ini seharusnya berjumlah 500 ekor hingga 1000 ekor. Harimau Malaya telah dikategorikan sebagai haiwan yang terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi.\nFaktor perdagangan haram adalah satu daripada punca perkara ini terjadi. Harimau diburu disebabkan oleh bahan berasaskan haiwan ini digunakan sebagai bahan zooterapi. Sebagai contohnya, tulang harimau dicampurkan dengan arak digunakan bagi menyembuhkan penyakit. Berdasarkan laporan The Wildlife Trade Monitoring Network pada tahun 2007, Malaysia merupakan antara negara yang terlibat dalam aktiviti perdagangan haram ini. Walau bagaimanapun, terdapat kajian terkini yang dilakukan oleh Loke et al. mendapati bahawa harimau merupakan satu daripada haiwan selain gajah yang tidak menjadi bahan buruan etnik orang asli Jahai dan Temiar. Dalam Akta Hidupan Liar 2010, harimau tidak termasuk dalam senarai haiwan yang boleh diburu oleh orang asli.\nSementara itu, PERHILITAN melaporkan bahawa sebanyak 222 orang pemburu haram ditangkap dan 1132 jerat telah dimusnahkan, dengan nilai sitaan berjumlah RM4.55 juta yang berlaku pada tahun 2019 hingga tahun 2021 dalam Operasi Bersepadu Khazanah melalui Program Perlindungan Biodiversiti dan Rondaan. Program ini melibatkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Perbadanan Taman Negeri Perak dan Johor serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan dalam penguatkuasaan Akta 716. Selain itu, tindakan pengukuhan BP3 melalui program VeTOA yang melibatkan veteran Angkatan Tentera Malaysia dan orang asli dilaksanakan dalam usaha membanteras pencerobohan, pembalakan haram dan pemburuan hidupan liar.\nPada 16 Jun 2021, jemaah menteri telah menggariskan sembilan tindakan strategik konservasi Harimau Malaya bagi tempoh 10 tahun bermula pada tahun 2021 hingga tahun 2030 yang melibatkan tiga pendekatan, iaitu:\nPada asasnya, kelestarian harimau ini hanya memerlukan tiga perkara utama, iaitu habitat yang berkanopi, sumber makanan (pemangsa) dan sumber air yang mencukupi. Oleh itu, hal ini jelas menunjukkan bahawa ekosistem alam merupakan perkara utama yang perlu dipelihara dan dipulihara daripada pembalakan melampau sama ada secara sah ataupun haram dan aktiviti pemburuan haram terhadap sumber makanan harimau.\nPerkara ini penting bagi memastikan raja rimba yang menjadi simbol negara kita tidak pupus dalam tempoh lima tahun hingga 10 tahun akan datang, sepertimana pupusnya harimau Bali, Caspian dan Java. Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama untuk menjaga kelestarian raja rimba ini daripada pupus akibat tindakan negatif segelintir masyarakat.\nPenulis ialah Pensyarah Kanan, Rancangan Biologi, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia." "MOSTI Tumpu Pemerkasaan Teknologi Kenderaan Elektrik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013\u00a0Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merupakan antara kementerian yang menyokong hasrat kerajaan mencapai sasaran negara neutral karbon atau negara sifar pelepasan karbon pada tahun 2050.\nMelalui kenyataan media MOSTI, kementerian tersebut telah melancarkan Program Inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga NanoMalaysia (NESTI). NESTI ialah sebuah platform perintis pada peringkat kebangsaan dalam usaha membangunkan dan mengkomersialkan sistem penyimpanan tenaga untuk mobiliti elektrik, kegunaan dalam sektor domestik dan industri serta penyelesaian mudah alih.\nMenteri MOSTI, Yang Berhormat Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba berkata, MOSTI telah melaksanakan pelbagai usaha dalam membantu kerajaan mencapai sasaran negara neutral karbon. Antaranya adalah menerusi teknologi storan tenaga kenderaan elektrik (EV) yang memberikan impak sampingan yang positif.\nTambah beliau, pada tahun ini juga, MOSTI menerusi program Enabling Mobility Electrification for Green Technology (EMERGE) yang diterajui oleh NanoMalaysia Berhad akan memberikan tumpuan kepada pembangunan dan pengkomersialan ekosistem teknologi EV tempatan bersama-sama syarikat pemula dan industri kecil sederhana. Selain itu, tumpuan juga diberikan kepada pembangunan kenderaan elektrik dua roda yang dibangunkan oleh para pengusaha EV tempatan.\nKomitmen MOSTI telah dibuktikan melalui pelancaran skuter elektrik buatan tempatan yang diberikan nama Eclimo\u00a0 ES-11. Skuter elektrik ini dikuasakan oleh bateri berstruktur nano dengan menggunakan sistem pemantauan bateri berstruktur nano yang memberikan pelbagai manfaat kepada alam sekitar.\nSebelum ini, Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan perkhidmatan bas elektrik penuh akan dimulakan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan bandar-bandar besar sebagai satu daripada usaha melestarikan alam sekitar.\n(Sumber: Facebook Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi)" "UniMAP sebagai Pusat Kompetensi dalam Bidang Teknologi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra \u2013 \u201cUniversiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan memanfaatkan 10 buah Centre of Technology (CoT) yang sedia ada sebagai pusat kompetensi yang akan memainkan dua peranan utama. Pertama, membolehkan UniMAP membekalkan solusi teknologi yang memenuhi keperluan masyarakat dan industri. Kedua, meningkatkan kompetensi dalam kalangan kakitangan dan pelajar melalui latihan peningkatan kemahiran dan pemerolehan kemahiran baharu selari dengan perkembangan teknologi dan keperluan industri,\u201d titah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat meninjau tapak pembinaan Dewan Besar UniMAP di Pauh Putra.\n\nSemasa tinjauan ke tapak pembinaan itu juga, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri, Ir. Mohd Shahril Mohd Said selaku pegawai penguasa projek dan Ir. Amalludin Zolkifli telah menyampaikan taklimat berkenaan dengan dewan konvokesyen yang dilaksanakan oleh kontraktor Amna Construction Sdn. Bhd. yang dapat menampung hampir 4000 orang pada satu-satu masa.\nBangunan tersebut dibangunkan di atas tanah berkeluasan 38 218 meter persegi yang melibatkan pembinaan satu blok bangunan dewan besar bersaiz 4671 meter persegi, blok sokongan (meliputi rumah sampah, pencawang elektrik, rumah pam dan tangki pencegah kebakaran serta loji pendingin), dataran rekreasi, penuaian air hujan serta kawasan tempat letak kereta yang boleh memuatkan sebanyak 204 buah kereta dan 84 buah motor.\nDalam masa yang sama, DYTM Raja Muda Perlis yang juga merangkap Canselor UniMAP memaklumkan bahawa Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) akan terus memperkasakan peranannya sebagai hub komuniti bagi warga universiti dan komuniti sekitar seiring dengan konsep \u201cUniMAP for Society\u201d.\nRonald McDonald House Charities Sensory Room merupakan fasiliti terkini yang dibangunkan oleh PTSFP bagi memenuhi keperluan untuk meningkatkan keupayaan deria dalam kalangan golongan autisme. Fasiliti yang telah mula beroperasi pada pertengahan tahun lalu ini menempatkan sistem rangsangan deria yang dikenali sebagai snoezelen. Sistem yang bernilai lebih daripada RM100 000 ini disumbangkan sepenuhnya oleh Ronald McDonald House Charities.\nSementara itu, Naib Canselor UniMAP, Profesor Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Pengarah Pembangunan UniMAP, Profesor Dr. Khairul Azwan Ismail turut hadir mengiringi baginda." "Pindaan Akta Memperhebat Peranan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n Kuala Lumpur \u2212 Cadangan Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob untuk membuat pindaan terhadap Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 merupakan satu usaha murni pihak kerajaan untuk mengangkat dan menjulang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia. Susulan hal itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyambut baik cadangan pindaan akta tersebut oleh Perdana Menteri kerana pindaan akta perlu dilakukan sebagai satu usaha untuk DBP bergerak ke peringkat antarabangsa dengan lebih aktif.\nMenurut YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP, pemantapan akta ini membolehkan DBP bergerak lebih jauh ke hadapan secara lebih berkesan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.\nTambah beliau, DBP menyambut baik saranan Perdana Menteri untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN. Usaha ini sangat bertepatan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai jati diri sendiri dari segi bahasa, iaitu bahasa Melayu. Sebagai sebuah negara yang merdeka, kebanggaan dan kecintaan terhadap bahasa Melayu merupakan lambang jati diri rakyat Malaysia.\nApabila kita memasarkan budaya kita, maka kita akan memasarkan nilai komersial kita. Jadi, perlu kita berusaha menggunakan pelbagai kaedah yang sesuai dengan memanfaatkan segala peluang yang ada seperti filem yang boleh diakses oleh pihak luar. Apa-apa sahaja teknologi yang boleh diguna akan kita gunakan. Contohnya, melalui program di televisyen.\nDBP turut menyokong usaha Kerajaan agar bahasa Melayu digunakan di persidangan antarabangsa. Hal ini bertepatan kerana penutur bahasa Melayu di peringkat ASEAN adalah yang paling tinggi. Statistik dunia menyatakan bahawa ASEAN mempunyai bilangan penutur bahasa Melayu ketujuh terbanyak di dunia, cuma negara ini tidak memanfaatkan ruang yang ada, lebih-lebih lagi dari sudut ekonomi.\nSehubungan dengan itu, dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat global, DBP sudah lama mengadakan usaha sama kebahasaan seperti peristilahan dengan negara Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand untuk mengembangkan bahasa Melayu.\nAda sesetengah pihak yang beranggapan bahawa jika kita mengutamakan bahasa Melayu, maka kita akan mengabaikan bahasa lain. Pemikiran seperti ini perlu diperbetulkan kerana bahasa kebangsaan ialah bahasa utama negara ini dan seseorang itu boleh mempelajari bahasa lain selain daripada bahasa Melayu. Oleh itu, kita perlu mengutamakan bahasa Melayu tetapi kita juga perlu memperhebat bahasa Inggeris, bahasa Mandarin dan sebagainya.\nDemikianlah antara penerangan menarik daripada YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran ketika menjadi tetamu jemputan dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (Nadi Seri Pagi), yang bersiaran secara langsung pada pukul 8.00 pagi tadi di saluran Berita RTM, TV1\u00a0 dan RTM Klik serta FB Selamat Pagi Malaysia, bersama-sama pengacara, Ridwan Mustafa dan Syuhaida Ariffin." "Pakar Farmaseutikal Halal Negara Meninggal Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSeberang Jaya \u2013 Pakar farmaseutikal halal negara, Profesor Emeritus Zhari Ismail menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pukul 7.37 pagi semalam di Hospital Seberang Jaya. Jenazah telah dikebumikan di Masjid Jamek Tuan Haji Abdul Latif, Permatang Pasir, Pulau Pinang.\nProfesor Emeritus Zhari Ismail yang dilahirkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 28 Jun 1949 merupakan tokoh yang disegani dalam bidang farmaseutikal halal. Beliau memperoleh ijazah sarjana dalam bidang farmasi di Institut Teknologi Bandung, Indonesia dan menyambung pengajiannya pada peringkat ijazah doktor falsafah di Universiti of Strathclyde, United Kingdom. Beliau telah dianugerahi gelaran Profesor Emeritus semasa konvokesyen USM ke-58 pada 2 Disember tahun lalu.\nPada tahun 1982, beliau mula berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia (USM) hingga beliau bersara wajib pada tahun 2009. Walau bagaimanapun, perkhidmatan beliau disambung hingga Disember 2019.\nProfesor Emeritus Zhari Ismail sangat sinonim dengan industri farmaseutikal halal di Malaysia. Kajian penyelidikan beliau yang memfokuskan herba tempatan telah membawa kepada pembangunan monograf herba pertama di Malaysia. Menurut Encik Mohd Amri Abdullah, Pegawai Hal Ehwal Islam, Kementerian Kesihatan Malaysia:\nBeliau seorang yang sangat komited dan sanggup berkorban bagi merealisasikan hasrat untuk mendapatkan pensijilan halal dalam industri farmaseutikal. Beliau menjadi pakar rujuk dalam industri farmaseutikal halal. Keilmuannya mengubah landskap farmaseutikal negara.\nSumbangan Profesor Emeritus Zhari Ismail yang sangat besar dalam bidang penyelidikan ini telah memberikan manfaat kepada pelbagai institusi seperti Jabatan Standard Malaysia, SIRIM Berhad dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dalam konteks DBP misalnya, beliau menganggotai Jawatankuasa Istilah Farmasi (1989), Jawatankuasa Istilah Farmasi: Kimia Farmasi (2003), Jawatankuasa Istilah Tatanama Drug dan Bahan Bukan Proprietari (2004), Jawatankuasa Istilah Farmasi Jilid 2 (2005), dan Jawatankuasa Istilah Herba: Pembangunan Produk (2009). Selain itu, beliau juga aktif dalam penerbitan pelbagai bahan yang menjadi rujukan dalam industri farmaseutikal dan halal dalam negara serta peringkat antarabangsa.\nDr. Amirah Mohd Gazzali sebagai kenalan rapat\u00a0Profesor Emeritus Zhari Ismail pula menyatakan bahawa beliau merupakan perintis yang menubuhkan Halal Studied in Services, Research and Training (HASRAT) beberapa tahun yang lalu. Walaupun sudah bersara, beliau aktif melakukan penyelidikan melalui kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), terutamanya dalam isu halal farmaseutikal. Tambah beliau lagi:\nBanyak sekali jasa Profesor Emeritus Zhari Ismail. Beliau seorang yang tenang, lemah lembut tetapi tegas. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, sangat jelas tahap keilmuannya. Beliau banyak melakukan penyelidikan dalam produk alami untuk mengangkat fungsi tumbuhan tempatan dan membuktikannya secara saintifik.\nSelain dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Farmaseutikal Halal, The Standards and Metrology Institute for Islamic Countries dan Pertubuhan Kerjasama Islam pada tahun 2020 hingga tahun 2025, beliau juga diberi kepercayaan oleh Majlis Raja-Raja Melayu sebagai Ahli Jawatankuasa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia." "Vaksinasi Kanak-kanak Bermula Februari 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Berdasarkan kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 20 Januari 2022, jumlah kes COVID-19 yang melibatkan individu berumur kurang daripada 18 tahun adalah sebanyak 579 624 kes bagi tempoh 25 Januari 2020 hingga 19 Januari 2022. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 269 773 kes melibatkan kanak-kanak berumur lima tahun hingga 11 tahun.\nWalaupun pada kebiasaannya kanak-kanak hanya mengalami gejala ringan, terdapat juga sebilangan kanak-kanak yang mengalami gejala teruk dan memerlukan rawatan di hospital, termasuklah di Unit Rawatan Rapi (ICU).\nBaru-baru ini, berlaku peningkatan jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak, terutamanya setelah pembukaan sekolah pada awal tahun 2022. Varian Omicron didapati mudah merebak dan berpotensi tinggi untuk menjangkiti kanak-kanak serta orang dewasa. Negara yang terkesan dengan varian Omicron juga menunjukkan terdapat pertambahan jumlah kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital akibat jangkitan virus ini.\nSelain risiko mendapat penyakit COVID-19 yang berpanjangan, kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19 juga berisiko tinggi untuk mendapat kesan serius yang dikenali sebagai multisystem inflammatory syndrome in children (MIS-C).\nKesan MIS-C ini boleh berlaku kepada seorang daripada 3200 orang kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19. Demam yang berlarutan, mengalami tekanan darah rendah, sawan, dan keradangan pelbagai organ, termasuklah jantung (miokarditis), paru-paru, buah pinggang, otak, kulit, mata, dan saluran usus merupakan antara gejala MIS-C.\nPopulasi kanak-kanak turut mengalami kesan tidak langsung kepada kehidupan sosial, terutamanya dari segi persekolahan dan pendidikan. Hal ini memberikan kesan yang buruk kepada psikologi dan perkembangan sosial kanak-kanak secara keseluruhannya.\nOleh yang demikian, KKM melalui Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Malaysia telah menganalisis data keselamatan dan keberkesanan serta bersetuju untuk memberikan kelulusan bersyarat kepada vaksin Comirnaty\u00a0 10 mcg\u00a0 Concentrate\u00a0 for\u00a0 Dispersion\u00a0 (Pfizer-\u00adBioNTech) pada 6 Januari 2022 untuk kegunaan kanak-kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun.\nHasil dapatan kajian klinikal, vaksin ini menunjukkan keberkesanan sebanyak 90.7 peratus dan berupaya untuk meningkatkan tindak balas imun yang tinggi terhadap penyakit COVID-19. Walau bagaimanapun, vaksin ini juga boleh memberikan kesan sampingan kepada kanak-kanak seperti sakit pada tempat suntikan, kemerahan dan bengkak. Tindak balas sistemik pula termasuklah keletihan, pening kepala, sakit otot, menggigil, dan demam. Namun begitu, kebanyakan kesan sampingan vaksin ini adalah ringan dan sederhana serta tidak berpanjangan.\nSementara itu, program vaksinasi COVID-19 untuk kanak-kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun menggunakan vaksin Comirnaty formulasi khas untuk kanak-kanak juga telah dilaksanakan di beberapa buah negara, termasuklah Amerika Syarikat, Kanada, Israel, Australia, dan Singapura.\nPada masa ini, vaksinasi COVID-19 ini adalah disyorkan bagi kanak-kanak berumur lima tahun hingga 11 tahun. Waiau bagaimanapun, keutamaan untuk pemberian vaksin pada permulaan program ini adalah kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan kerana mereka lebih berisiko untuk mendapat penyakit COVID-19 yang teruk, termasuklah kemasukan ke hospital dan ICU serta kematian. Masalah kesihatan tersebut adalah seperti penyakit respiratori kronik, penyakit kardiovaskular, imunotindasan, kencing manis, penyakit ginjal kronik, dan penyakit saraf.\nFormulasi vaksin COVID-19 Comirnaty yang akan digunakan dalam program vaksinasi ini merupakan formulasi khas untuk kanak-kanak dan dibekalkan di dalam bebuli 10-dos (penutup jingga) dan perlu dicampurkan dengan 1.3 mililiter larutan garam biasa. Setiap dos yang diberikan adalah 0.2 mililiter dan mengandungi 10 mcg vaksin mRNA. Dos ini adalah satu pertiga daripada dos yang digunakan dalam dos orang dewasa. Sebanyak dua suntikan dos vaksin diperlukan dengan sela masa lapan minggu selepas dos pertama dalam program vaksinasi ini.\nBerdasarkan data terkini yang diperoleh, sela masa lapan minggu antara dua dos yang diberikan akan memberikan kesan tindak balas imuniti dan kadar keberkesanan yang lebih tinggi serta berpotensi untuk memberikan perlindungan yang lebih lama. Selain itu, data ini juga menunjukkan sela masa tersebut mampu mengurangkan risiko miokarditis.\nKKM akan melaksanakan pemberian vaksin COVID-19 untuk kanak\u00ad kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun bermula Februari 2022 sebaik sahaja vaksin Pfizer (kanak-kanak) tiba di Malaysia mulai 31 Januari 2022. Pelancaran program pemberian vaksinasi kanak-kanak ini pula akan diadakan pada 3 Februari 2022 di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.\nSistem tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera akan mula dibuka pada penghujung bulan Januari 2022. Sebagai permulaan, ibu bapa boleh mula mendaftarkan anak sebagai tanggungan dalam aplikasi MySejahtera masing-masing. Tempahan janji temu ini akan dibuka secara berperingkat bermula pada 31 Januari 2022 dan dibuka kepada ibu bapa yang tinggal di Lembah Klang terlebih dahulu. Perincian berkenaan dengan akses kepada sistem tempahan janji temu ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat.\nKKM mensasarkan 70 peratus kanak-kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun dalam sistem pendidikan dapat diberikan dos pertama vaksin Pfizer (kanak-kanak) dalam tempoh dua bulan dari tarikh program dilancarkan pada awal bulan Februari 2022 nanti. Seterusnya, 80 peratus kanak-kanak akan menerima dos lengkap dalam tempoh enam bulan pelaksanaan program vaksinasi ini.\nSecara keseluruhannya, sebanyak 144 kematian telah direkodkan akibat daripada jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak berumur 18 tahun dan ke bawah. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 31 kes kematian melibatkan kanak-kanak berumur lima tahun hingga 11 tahun telah direkodkan." "800 Individu Dilantik sebagai Renjer Hidupan Liar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cDengan pelantikan renjer hidupan liar di bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti atau Biodiversity Protection and Patrolling Programme (BP3) ini diharapkan dapat mengurangkan kegiatan pemburuan dan pencerobohan haram di kawasan habitat hidupan liar,\u201d kata Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), YB Datuk Ali Biju melalui siaran media yang disiarkan menerusi Facebook KeTSA.\nMenurut beliau, sebanyak 800 Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli (VetOA) menerima watikah pelantikan sebagai renjer hidupan liar di bawah program BP3 yang melibatkan pelantikan sebanyak 224 orang veteran Angkatan Tentera Malaysia, 439 orang asli, 112 orang awam, 15 orang veteran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 10 orang pesara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).\nTambah beliau lagi, kepakaran VetOA telah meningkatkan keberkesanan pengesanan kes di kawasan pencerobohan, pemburuan dan pembalakan haram, termasuklah operasi pembasmian jerat. Penglibatan VetOA juga dapat memupuk rasa kebertanggungjawaban untuk melindungi khazanah negara serta meningkatkan kesejahteraan komuniti VetOA.\nBP3 merupakan sebuah program untuk membanteras jenayah yang melibatkan hidupan liar di bawah Jabatan PERHILITAN, KeTSA yang bermula secara rasmi pada 29 Jun 2020. Program ini membabitkan kawasan operasi di Banjaran Titiwangsa, Taman Negara Pahang, Taman Negara Kelantan, Taman Negara Terengganu, Taman Negara Pulau Pinang, Taman Negeri Royal Belum, Taman Negara Endau Rompin, Rizab Hidupan Liar (RHL) Krau dan RHL Sungkai.\nSelain itu, program BP3 \u00a0turut melibatkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), PDRM dan agensi penguatkuasaan lain bagi membantu membanteras pencerobohan, pembalakan serta pemburuan haram hidupan liar dalam kawasan perlindungan di Semenanjung Malaysia, termasuklah Taman Negara, Taman Negeri. Hutan Simpanan Kekal dan Tapak RAMSAR.\nProgram BP3 adalah kesinambungan daripada Operasi Bersepadu Khazanah yang telah dilancarkan pada 3 September 2019 melibatkan kerjasama dengan Jabatan PERHILITAN, PDRM dan Perbadanan Taman Negeri Perak, Perbadanan Taman Negara Endau Rompin, Johor, JPSM dan beberapa badan bukan kerajaan lain yang menjalankan operasi bersepadu untuk memerangi dan membanteras penjenayah hidupan liar. Program ini juga merupakan strategi terbaharu dalam meningkatkan strategi rondaan penguatkuasaan bagi menangani isu pencerobohan, pemburuan dan pembalakan haram." "Kawal Diabetes dengan Kekal Aktif\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDiabetes melitus atau lebih dikenali sebagai kencing manis amat sinonim dalam kalangan masyarakat Malaysia. Penyakit ini terjadi disebabkan oleh kandungan gula yang tinggi dalam saluran darah. Diabetes melitus menjadi antara masalah kesihatan umum pada masa ini dan mampu menjejaskan kualiti hidup penghidapnya.\nSehingga hari ini, dianggarkan seramai 16.8 peratus penduduk di Malaysia menghidap diabetes. Lebih membimbangkan, pada tahun 2025, dianggarkan pesakit diabetes yang berumur 18 tahun ke atas akan meningkat kepada 31.3 peratus daripada jumlah populasi penduduk di Malaysia.\nMenurut kajian yang dilakukan oleh Tinjauan Kesihatan dan Kebangsaan Morbiditi 2019 (NMHS), penghidap diabetes menunjukkan peningkatan sebanyak empat kali ganda dalam tempoh 30 tahun. Kajian juga menunjukkan pesakit diabetes tidak aktif dalam kehidupan seharian secara fizikal. Ramai penghidap penyakit ini mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti.\nMenurut laporan NHMS, tiga negeri merekodkan kes bagi penyakit diabetes tertinggi, iaitu Negeri Sembilan, Perlis dan Pahang. Lebih memburukkan keadaan, individu yang menghidap diabetes menunjukkan peningkatan dalam trend obesiti atau berlebihan berat badan. Hal ini dikatakan demikian kerana perintah kawalan pergerakan yang berlaku di negara kita menjadi faktor terbesar perubahan pola pengambilan makanan serta gaya diet seharian dan membataskan segala aktiviti senaman. Corak dan pola pemakanan yang tidak teratur, kurang pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan serta kualiti tidur yang terjejas mengganggu paras gula dalam darah dan akhirnya menjadi lebih tinggi berbanding normal.\nBacaan gula dalam darah bagi individu dewasa yang normal adalah dalam julat 3.9 mmol/L hingga 5.5 mmol/L. Jika bacaan gula berada dalam julat 5.6 mmol/L hingga 6.9 mmol/L, individu tersebut perlu menjalani ujian darah yang dikenali sebagai fasting blood sugar. Sekiranya individu tersebut membuat pemeriksaan dua jam selepas makan, bacaan tersebut bukan penentu sebagai menghidap diabetes, sebaliknya kemungkinan individu tersebut berada berisiko menghidapi diabetes.\nDiabetes melitus boleh menyerang individu pada semua peringkat umur. Terdapat dua jenis diabetes, iaitu diabetes jenis satu dan diabetes jenis dua. Diabetes jenis satu kerap kali dijumpai dalam kalangan pesakit muda yang berumur daripada satu hari sehingga 17 tahun. Diabetes ini berlaku disebabkan ketidakfungsian organ pankreas untuk menghasilkan insulin dalam badan manusia. Sementara itu, diabetes jenis dua berlaku akibat kerintangan terhadap insulin untuk dikenal pasti oleh sel badan bagi menukarkan gula kepada tenaga. Diabates jenis dua amat sinonim dalam kalangan orang dewasa. Terdapat satu lagi jenis diabetes yang biasa dihidapi oleh ibu mengandung, iaitu diabetes gestasi. Keadaan ini disebabkan oleh tubuh ibu mengandung mempunyai paras glukosa yang tinggi dan akan kembali ke paras normal selepas bersalin.\nSecara umumnya, selain daripada mengambil ubat-ubatan secara teratur, \u00a0pesakit diabetes digalakkan mengamalkan perubahan gaya hidup, terutamanya gaya pemakanan dan aktiviti fizikal. Pesakit diabetes untuk memakan lebih banyak serat dan memakan makanan yang mengandungi indeks glisemik rendah. Penghidap diabetes juga disarankan melakukan senaman secara berkala bagi memastikan glukosa darah terkawal.\nSenaman berkala sangatlah diperlukan dalam pengawalan kandungan gula dalam darah. Bagi penghidap diabetes, pesakit disarankan untuk bersenam dalam tempoh 150 minit untuk aktiviti sederhana seperti berbasikal. Senaman ini boleh dilakukan selama 30 minit hingga 60 minit sehari selama tiga hari seminggu dan diselang-selikan dengan aktiviti tinggi seperti berjoging. Walau bagaimanapun, pesakit diabetes diingatkan untuk melakukan senaman mengikut keupayaan individu.\nPenghidap diabetes juga boleh merujuk kepada pakar fisioterapi untuk mendapatkan khidmat nasihat berkenaan dengan senaman dan aktiviti fizikal mengikut intensiti yang bersesuaian untuk diamalkan sehari-hari. Intensiti aktiviti fizikal adalah berbeza mengikut keupayaan individu. Aktiviti fizikal dengan intensiti rendah adalah seperti dengan duduk menonton televisyen dan berjalan biasa. Aktiviti fizikal dengan intensiti sederhana pula merujuk aktiviti seperti berjalan pantas, berbasikal dan mengemas rumah, manakala aktiviti fizikal dengan intensiti tinggi adalah seperti senamrobik, berenang dan zumba.\nMenurut pendekatan yang disyorkan oleh American College of Sports Medicine dan American Diabetes Association, aktiviti fizikal atau latihan daya tahan hendaklah dilakukan dengan kekerapan tiga hingga tujuh kali seminggu, dengan intensiti rendah dan sederhana, selama 150 minit atau 75 minit bagi aktiviti berintensiti tinggi. Pesakit diabates juga boleh memasukkan elemen atau jenis aktiviti fizikal membina kekuatan sebanyak dua hingga tiga kali seminggu. Hal Hal Hal ini termasuklah dengan mengangkat beban untuk 10 kali hingga 15 kali secara ulangan bagi lapan set hingga 10 set. Aktiviti fizikal membina kekuatan jenis ini mestilah tertumpu pada otot besar yang berada di anggota kaki dan tangan.\nSebelum memulakan latihan senaman, pesakit digalakkan untuk mendapatkan nasihat doktor perubatan. Jika pesakit tidak dapat melakukan aktiviti fizikal dan mempunyai kekangan, beberapa kaedah lain boleh diamalkan. Antaranya adalah dengan mengelakkan duduk terlalu lama dan mencuba untuk bangun dan berjalan bagi setiap 20 minit hingga 30 minit. Di samping itu, pesakit boleh untuk melakukan aktiviti riadah seperti berjalan di sekeliling rumah, berbasikal, berjoging selama 15 minit hingga 20 minit sehari. Pesakit juga disarankan menggunakan monitor langkah seperti pedometer atau akselerometer bagi merekod jumlah aktiviti harian. Pesakit juga boleh melakukan aktiviti senaman bersama-sama ahli keluarga atau mengikuti video senaman untuk meningkatkan kesihatan dan mengekalkan kecergasan.\nSenaman yang mempunyai beberapa komponen seperti latihan daya tahan, membina kekuatan dan memberi keseimbangan sangat disyorkan oleh ahli fisioterapi. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila individu bersenam, otot akan memerlukan tenaga untuk menghasilkan pergerakan dan berfungsi. Otot tersebut memerlukan \u201cmakanan\u201d sebagai sumber tenaga tambahan. Badan akan menggunakan glukosa dalam darah untuk membekalkan tenaga kepada otot dan hal ini sekali gus dapat menurunkan kadar glukosa. Sekiranya individu tersebut melakukan senaman secara teratur mengikut jadual dan masa yang sesuai, badan dapat membantu menggunakan insulin dengan lebih berkesan dan menurunkan kadar gula dalam darah sehingga 12 jam selepas aktiviti senaman dilakukan.\nSebagai kesimpulannya, bagi pesakit yang ingin mengawal diabetes dengan lebih cekap, pesakit perlu mengamalkan gaya hidup sihat dengan diet yang seimbang dan mengamalkan aktiviti fizikal. Senaman secara berkala sangat memberikan impak yang positif dan berkesan dalam penurunan paras gula bagi pesakit diabetes. Senaman secara teratur juga mampu mengurangkan dos ubat dan seterusnya pesakit dapat menjalani kehidupan yang lebih sihat dan berkualiti." "Aedes Kembali Menyerang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nProgram Jom Berinteraksi Sembang-sembang Denggi telah bersiaran langsung pada 22 Januari 2022 menerusi aplikasi Zoom mbermula pada pukul 10.00 pagi hingga pukul 11 pagi. Secara keseluruhannya, program anjuran dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Institute for Clinical Research (ICR), Malaysian Society of Infection Control and Infectious Diseases (MyICID) dan National Institutes of Health (NIH) ini membincangkan tentang persoalan penting berkaitan dengan penyakit denggi di Malaysia.\nProgram yang berlangsung selama satu jam ini menampilkan ahli panel yang terdiri daripada empat orang doktor pakar, iaitu Dr. Jenarun Jelip, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Ketua Sektor Kawalan Penyakit Bawaan Vektor, KKM; Dr. Thahira A. Jamal Mohamed, Pakar Perunding Penyakit Berjangkit Pediatrik, Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur; Dr. Ho Bee Kiau, Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Bandar Botanik, Klang; dan Dr. Alif Adlan Mohd Thabit, Pakar Penyakit Berjangkit, Hospital Selayang, Selangor.\nMenurut Dr. Jenarun Jelip yang juga bertindak sebagai moderator program ini, secara umumnya penyakit denggi di Malaysia telah disebarkan oleh gigitan nyamuk Aedes betina. Selain itu, penyakit denggi merupakan penyakit virus yang berjangkit melalui gigitan nyamuk Aedes yang dicirikan dengan sakit kepala, demam, sakit sendi, dan ruam. Tiada rawatan atau ubatan khusus digunakan untuk merawat penyakit denggi. Dalam masa yang sama, vaksin yang berkesan untuk digunakan bagi mencegah penyakit denggi belum ditemui hingga kini.\nBerdasarkan data yang dikeluarkan oleh KKM, pencapaian kes denggi di Malaysia pada tahun 2021 menunjukkan penurunan kes sebanyak 70 peratus (26 365 kes) berbanding dengan peningkatan jumlah kes denggi sebanyak 90 304 pada tahun 2020. Kadar kematian kes bagi kes denggi di Malaysia pula mencatatkan sebanyak 0.08 peratus (8/10 000 kes). Kadar kematian kes denggi pada tahun 2021 telah mencatatkan penurunan drastik berbanding dengan tahun sebelumnya.\nTambah Dr. Jenarun Jelip lagi, pemantauan yang dilakukan oleh KKM menunjukkan bilangan laporan kes denggi yang berlaku di Malaysia berdasarkan trend gelombang yang berlaku antara empat tahun dan lima tahun sekali. Gelombang kes denggi yang tinggi berlaku pada tahun 2015, manakala kes denggi yang kedua tertinggi berlaku pada tahun 2019. Oleh itu, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh KKM, kemuncak gelombang kes denggi seterusnya akan berlaku pada tahun 2023 dan tahun 2024. Walau bagaimanapun, penurunan kes denggi dengan drastik pada tahun 2021 merupakan satu usaha terbaik rakyat Malaysia untuk terus memerangi penyakit denggi di Malaysia.\nSementara itu, Dr. Ho Bee Kiau dan Dr. Thahira A. Jamal Mohamed berkata, simptom penyakit denggi mempunyai dua fasa. Pada fasa permulaan, pesakit denggi akan mengalami demam, loya, muntah, sengal badan, ruam, kurang selera makan dan minum, cirit-birit, lesu, dan kurang aktif. Bagi fasa kritikal pula, pesakit denggi akan berasa lebih tenat walaupun demam sudah berkurangan. Dalam fasa ini, pesakit denggi akan mengalami sakit perut yang serius, muntah, cirit-birit yang berterusan, kelesuan, pendarahan ketika menggosok gigi dan berlaku pendarahan dalam gusi.\nMenurut Dr. Alif Adlan Mohd Thabit, terdapat penyakit lain yang menyerupai penyakit denggi seperti penyakit Influenza, demam campak dan cirit-birit. Oleh sebab itu, gejala penyakit denggi bermula dengan demam.\nSelain itu, tiada simptom khas untuk kanak-kanak yang mengalami serangan sawan lebih daripada sekali dalam penyakit demam jika dibandingkan dengan penyakit lain. Oleh itu, pesakit denggi dan orang ramai yang berada di kawasan kejiranan harus berwaspada dengan Indeks Kes Denggi yang Tinggi dan peningkatan kes denggi yang berlaku di tempat tinggal masing-masing. Lazimnya, penyakit denggi dikesan seperti penyakit demam yang melebihi tiga hari. Oleh itu, ujian spesifik dijalankan terhadap pesakit denggi.\nSakit perut diikuti dengan lesu dan pendarahan, tidak bermaya, ibu yang kurang menyusu dan minum, bintik-bintik merah, hidung berdarah, muntah yang berterusan, najis berdarah, haid yang teruk, sakit perut yang berlanjutan, resah, sawan, keadaan kaki dan tangan yang pucat, badan sentiasa sejuk, susah bernafas dan kurang membuang air kecil merupakan tanda bahaya yang dialami oleh pesakit denggi.\nDr. Ho Bee Kiau turut menegaskan bahawa ibu bapa tidak boleh memberikan ubat yang tergolong dalam ubat antiradang bukan steroid (NSAID), iaitu aspirin dan supositori voltaren kepada anak-anak yang menghidap demam denggi. Selain itu, ibu bapa juga tidak boleh memberikan ubat steroid dan ubat antibiotik kepada anak-anak yang menghidap demam denggi. Oleh itu, langkah terbaik yang perlu diambil adalah dengan memberikan rehat yang secukupnya dan memastikan anak-anak meminum air masak sebanyak enam gelas hingga lapan gelas sehari Minuman seperti susu, air barli dan air kelapa boleh diberikan kepada anak-anak yang mengalami demam denggi. Tegasnya, ibu bapa boleh memberikan ubat demam mengikut dos yang disarankan oleh doktor jika perlu.\nOrang ramai boleh mencegah jangkitan denggi pada peringkat individu dan keluarga bermula dengan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk. Oleh yang demikian, tempat pembiakan nyamuk harus dibersihkan, selain membuang air takungan di semua tempat takungan yang terbiar. Penggunaan\u00c2\u00a0 bahan pembunuh jejentik untuk memusnahkan pembiakan nyamuk harus diletakkan di tempat takungan air yang tidak boleh dibuang seperti tangki simpanan air di rumah.\nDr. Ho Bee Kiau berpandangan bahawa kesedaran untuk membersihkan tempat pembiakan nyamuk dan tempat takungan air semasa pandemik COVID-19 ini merupakan satu kesedaran kendiri yang tinggi. Persekitaran di rumah sendiri juga harus dibersihkan dengan baik menerusi tanggungjawab kendiri. Tindakan ini sekali gus dapat mengelakkan orang ramai berkumpul dan mencetuskan kluster baharu yang boleh menyebabkan penularan penyakit COVID-19 berlaku di kawasan kejiranan.\nSeterusnya, Dr. Alif Adlan Mohd Thabit berkata, pesakit denggi yang mengamalkan minuman isotonik berkarbonat perlu membuang gas dalam minuman itu terlebih dahulu. Dr. Ho Bee Kiau pula menjelaskan bahawa semua doktor tidak menggalakkan minuman isotonik tersebut kerana kandungan gulanya yang tinggi akan menyebabkan dehidrasi dan mendatangkan kesan bahaya terhadap penyakit kencing manis atau pesakit diabetes.\nDr. Alif Adlan Mohd Thabit turut menyatakan bahawa serangan penyakit denggi yang berbahaya adalah berdasarkan komplikasi denggi yang bersifat pendarahan sehingga menyebabkan salur darah dalam tubuh manusia mengalami kebocoran." "Mengenali Penyakit Genetik Porfiria\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIstilah porfiria berasal daripada perkataan Yunani kuno, iaitu \u201cporphura\u201d yang bermaksud ungu. Istilah ini merujuk sejenis penyakit yang mempunyai simptom unik, iaitu air kencing berwarna ungu. Menurut Genetics Home Reference, porfiria ialah sekumpulan gangguan yang disebabkan oleh gangguan metabolisme pada penghasilan heme dan menyebabkan pengumpulan porfirin. Heme ialah prekursor kepada hemoglobin yang membawa oksigen ke seluruh badan. Heme mengandungi zat besi dan memberikan warna merah kepada sel darah merah.\nTerdapat beberapa jenis porfiria dan kebanyakannya disebabkan oleh faktor genetik atau keturunan. Secara umumnya, porfiria boleh dikelompokkan kepada dua jenis utama, iaitu porfiria hepatik dan porfiria eritropoietik. Porfiria hepatik melibatkan masalah hati dan kebiasaannya dikaitkan dengan simptom seperti sakit abdomen dan masalah dengan sistem saraf utama. Porfiria eritropoietik pula disebabkan oleh masalah pada sel darah merah.\nJenis porfiria lain termasuklah porfiria yang terbentuk daripada ketidaksempurnaan enzim seperti delta-aminolevulinic acid dehydratase, porfiria eritropoiesis kongenital, koproporfiria keturunan, dan lain-lain lagi. Selain faktor keturunan, porfiria juga boleh berpunca daripada pengambilan ubat atau dadah dan jangkitan. Porfiria jenis ini dikenali sebagai sporadic porphyria atau acquired porphyria.\nAntara simptom utama porfiria ialah warna air kencing yang gelap dan sangat kemerah-merahan. Warna kemerahan ini boleh menjadi semakin gelap sehingga bertukar kepada warna ungu apabila terdedah kepada cahaya. Perbezaan warna yang ketara ini adalah kerana kehadiran porfirin yang berlebihan dan tidak normal berbanding kebiasaan.\nTerdapat juga beberapa simptom lain dan berbeza-beza mengikut jenis porfiria yang dihadapi. Antaranya ialah kulit menjadi sensitif terhadap cahaya matahari dan kadangkala kepada cahaya lampu. Hal ini disebabkan oleh pendedahan kulit kepada sinaran matahari menjadikan kulit menipis, mudah rosak dan pelbagai masalah lebih serius seperti kemerahan, luka dan lepuh. Simptom lain termasuklah pesakit porfiria akan mengalami peningkatan pertumbuhan rambut.\nPorfiria intermiten akut memberikan kesan kepada sistem saraf. Porfiria jenis ini melibatkan simptom akut seperti sakit abdomen, muntah, sembelit, dan cirit-birit. Pesakit juga berisiko mengalami kelemahan otot, sawan, demam, kemerosotan deria, dan halusinasi. Simptom lain bagi penyakit ini ialah kekurangan sel darah merah, limpa bengkak dan peningkatan risiko kanser hati. Simptom seperti ini membahayakan pesakit dan boleh menyebabkan kematian.\nPorfiria boleh didiagnosis melalui ujian darah, ujian air kencing dan pemeriksaan najis. Ujian genetik juga boleh mengesahkan seseorang itu menghidap porfiria dengan melihat kepada mutasi gen.\nDari segi statistik, dianggarkan bahawa satu daripada 500 orang hingga satu daripada 50 000 orang menghidap porfiria. Porfiria yang paling biasa dijumpai ialah porphyria cutanea tarda. Di Sweden dan United Kingdom, porfiria yang lebih kerap dijumpai ialah porfiria akut. Koproporfiria keturunan pula dilaporkan lebih popular di Eropah dan Amerika Utara. Porfiria variegat lebih banyak dijumpai di Afrika Selatan dan dianggarkan tiga daripada 1000 orang menghidap porfiria jenis ini di negara itu.\nHampir kesemua kes porfiria dikaitkan dengan isu genetik. Gen yang berkaitan dengan porfiria memberikan arahan untuk menghasilkan enzim yang diperlukan dalam penghasilan heme. Mutasi gen yang berlaku telah mengurangkan aktiviti enzim dan mengehadkan penghasilan heme. Kesannya, tubuh menghasilkan porfirin dan terkumpul dalam hati dan organ lain.\nBeberapa jenis porfiria boleh diwarisi dalam dominant autosomal pattern. Hal ini bermakna satu salinan gen dalam setiap sel bermutasi dan mampu mengurangkan aktiviti enzim yang diperlukan untuk penghasilan heme. Antara porfiria jenis ini ialah porfiria akut, koproporfiria keturunan dan porfiria variegat.\nPorfiria jenis lain pula diwarisi dalam recessive autosomal pattern. Hal ini bermakna dua salinan gen dalam setiap sel bermutasi. Dalam kebanyakan kes, jenis ini melibatkan ibu bapa yang mempunyai ketidaksempurnaan resesif autosamal dan setiap seorang membawa satu salinan gen yang bermutasi. Antara porfiria jenis ini ialah delta-aminolevulinic acid dehydratase dan porfiria eritropoiesis kongenital.\nTerdapat beberapa rawatan khusus untuk pesakit porfiria dan bergantung pada jenis porfiria yang dihidapi. Antaranya ialah penggunaan heme arginate, iaitu kompaun gabungan heme dan arginina. Bahan ini mengurangkan penghasilan porfirin dan pengambilannya perlulah mengikut dos yang ditetapkan. Secara umumnya, jumlah dos yang disarankan ialah tiga miligram hingga 250 miligram untuk empat hari berturut-turut.\nTidak seperti porfiria akut, porfiria jenis lain kebiasaannya memberikan kesan kepada lapisan epidermis dan menjadi punca kepada warna kemerahan pada kulit. Bagi pesakit yang mempunyai masalah ini, pesakit dinasihatkan untuk menjauhkan diri daripada pendedahan cahaya matahari, mengurangkan pengambilan dadah dan alkohol, dan mengurangkan terapi estrogen.\n\u00a0\nPenulis ialah Felow Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK), Universiti Teknologi MARA dan Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi MARA." "Potensi Pokok Laki Pukul Bini dalam Perubatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGenus Hibiscus merujuk tumbuhan berbunga daripada famili Malvaceae. Genus ini agak besar serta mempunyai beberapa ratus spesies dan varieti. Tumbuhan daripada genus ini merupakan tumbuhan natif yang boleh dijumpai di negara bersuhu sederhana panas ke panas, subtropika dan tropika di seluruh dunia. Genus Hibiscus terdiri daripada tumbuhan herba tahunan dan saka, serta pokok renek berkayu dan pokok kecil. Bunga raya yang dikenali sebagai bunga kebangsaan Malaysia atau nama botaninya Hibiscus rosa-sinensis juga merupakan satu daripada spesies daripada genus Hibiscus. \nPokok laki pukul bini atau nama botaninya Hibiscus mutabilis merupakan satu daripada tumbuhan dalam genus Hibiscus. Nama lain bagi pokok ini ialah pokok ros Cina, mati laki mati bini, ros Sharon, botan, landak baru dan ros Dixie.\nPokok laki pukul bini merupakan pokok renek yang boleh mencapai ketinggian lima meter. Daunnya berwarna hijau serta berbentuk kordat dan mempunyai tiga hingga tujuh lobus. Batang dan bahagian abaksial pada daun pokok ini mempunyai trikom halus yang padat. Bunganya mempunyai empat hingga lima petal.\nKeunikan spesies pokok laki pukul bini ini terletak pada ciri bunganya yang boleh berubah-ubah kepada warna yang berbeza mengikut waktu. Bunganya akan berwarna putih pada sebelah pagi, kemudiannya bertukar kepada merah jambu pada waktu tengah hari dan berubah pula menjadi warna merah jambu pekat pada lewat petang.\nPerubahan warna bunga pada pokok laki pukul bini disebabkan oleh kehadiran sebatian flavonoid dan antosian yang disintesis secara progresif pada bahagian bunga. Pada waktu pagi, bunga pokok laki pukul bini mengandungi pigmen isoquercetin, hypperoside, rutin, kuersetin-4-glikosida dan quercimeritin, manakala pada sebelah petang bunga tersebut mengandungi sianin, sianin-3-sambubioside dan cyaniding. Fenomena perubahan warna ini dipercayai untuk menarik minat pendebunga yang terdiri daripada pelbagai spesies serangga seperti lebah, kelulut dan sebagainya.\nPokok laki pukul bini mempunyai banyak manfaat yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Selain itu, pokok ini juga sesuai dijadikan sebagai tanaman hiasan kerana morfologi daun dan bunganya yang menarik, saiznya yang sederhana dan mudah dibiakkan melalui kaedah keratan batang.\nPokok laki pukul bini mempunyai banyak kegunaan dalam perubatan tradisional terutamanya dalam kalangan masyarakat orang Melayu dan orang asli di Malaysia. Antara khasiat bunga laki pukul bini yang pernah direkodkan ialah air rebusan bunga keringnya dipercayai boleh digunakan untuk merawat masalah berkaitan pernafasan.\nDaun pokok laki pukul bini dikatakan boleh digunakan untuk meredakan bengkak pada badan. Cara penyediaannya termasuklah dengan menumbuk daun laki pukul bini sehingga hancur dan ditampal pada bahagian yang bengkak. Selain digunakan untuk melegakan kesakitan dan penyejuk badan, air rebusan daun dan bunga laki pukul bini juga digunakan untuk merawat batuk, kahak, hingus, dan masalah membuang air kecil.\nJika dilihat dari sudut penggunaan pokok laki pukul bini untuk perubatan tradisional, maka wajar kajian secara saintifik dilakukan bagi melihat potensi spesies ini sebagai sumber bahan ubat-ubatan alternatif. Kajian fitokimia menunjukkan bahawa terdapat 10 sebatian ditemui dan sembilan daripadanya merupakan asid tetracosanoic, iaitu sitosterol, daucosterol, asid salisilik, emodin, rutin, kaempferol-3-O-rutinosida, kaempferol-3-O-robinobinoside dan kaempferol-3-O-D-(6-E-p-hydroxycinnamoyl)-glukopiranosida. Sebatian yang ditemui ini juga menunjukkan perkaitan dengan potensi antimikrob dan antioksidan terutamanya pada bahagian daun spesies ini.\nOleh yang demikian, jelas menunjukkan bahawa spesies ini mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan menjadi sumber bahan perubatan berasaskan tumbuh-tumbuhan." "Soladiriti Malaysia Tamatkan NTD\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Malaysia pada tahun ini sekali lagi menyertai usaha komuniti global untuk membanteras Penyakit Tropika Terabai (NTD) Sedunia dan membebaskan generasi akan datang daripada penyakit kemiskinan. Hari NTD di seluruh dunia disambut pada 30 Januari sejak tahun 2020. Sambutan kali ketiga ini bertemakan 100% Committed\u00a0 bertujuan menyeru para pemimpin peringkat global menunjukkan solidariti dan 100 peratus komitmen mendokong sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi menghapuskan NTD di 100 buah negara menjelang tahun 2030.\nNTD merangkumi kumpulan 20 jenis penyakit jangkitan tropika yang disebabkan oleh pelbagai patogen seperti denggi, demam Chikungunya, penyakit Chagas, rabies dan lain-lain lagi.\nMenurut Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Menteri Kesihatan Malaysia melalui siaran media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam, fokus utama Malaysia adalah untuk memerangi denggi, iaitu penyakit jangkitan virus bawaan nyamuk.\nPada tahun 2021, Malaysia telah berjaya mengurangkan kes denggi daripada 90 304 kes pada tahun 2020 kepada 26 365 kes, iaitu dengan penurunan sebanyak 70.8 peratus walaupun perubahan iklim yang memberi kesan dalam transmisi penyakit ini. Oleh itu, Malaysia bertekad untuk meneruskan trajektori ini dengan meningkatkan kesediaan menangani denggi dalam usaha mencapai Sustainable Development Goal yang seterusnya mengakhiri epidemik ini menjelang tahun 2030.\nDianggarkan seramai 1.7 bilion pesakit menderita penyakit NTD di seluruh dunia. NTD mampu melemahkan, menjejaskan fizikal dan boleh menyebabkan kematian yang seterusnya memberi kesan terhadap kualiti kehidupan seharian dan menghalang perkembangan kognitif dan fizikal mereka yang menghidapinya.\n\u00a0\nKKM dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Menara KL dan Drug for Negelected Diseases Initiative turut menyalakan struktur ikonik negara seperti Menara Kuala Lumpur dan Pintasan Saloma pada 30 Januari 2022 bermula pukul 7.00 malam sebagai soladiriti bersama-sama gerakan NTD di seluruh dunia. KKM berharap agar sambutan NTD ini akan menjadi pemangkin kepada usaha mengakhiri NTD di seluruh dunia.\n(Sumber foto: Facebook KKM)" "Tingkatkan Kesedaran dan Pendidikan Kanser\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Bersempena dengan Hari Kanser Sedunia, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku\u00a0Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menitahkan rakyat untuk bersama-sama menjayakan pelbagai aktiviti yang dijalankan bagi meningkatkan kesedaran serta menggalakkan komitmen peribadi mereka yang mempunyai kuasa dalam menentukan tindakan seseorang individu dalam pencegahan kanser.\nTitah demikian dizahirkan baginda bersempena dengan kempen Perlis Hebat: Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Tindakan yang dianjurkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra semalam.\nHari Kanser Sedunia disambut di seluruh dunia pada 4 Februari setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan tentang kanser serta mengajak orang ramai untuk menyokong dan bersama-sama mengambil bahagian dalam usaha mencegah dan mengawal penyakit kanser. \u00a0Tema sambutan pada tahun ini ialah Close the Care Gap atau Rapatkan Jurang Penjagaan Kanser.\nPengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Sirajuddin Hashim memaklumkan bahawa sambutan Hari Kanser Sedunia diadakan sebagai usaha dan tanda kesepakatan seluruh dunia menghadapi cabaran besar dalam memerangi wabak kanser.\nPada tahun 2020, tiga jenis kanser yang menyumbang kepada kematian tertinggi ialah kanser paru-paru, kanser kolorektal dan kanser hati di seluruh dunia. Di Malaysia, kanser merupakan satu daripada lima penyakit utama yang menjadi punca kematian di Malaysia sejak beberapa dekad lalu.\nOleh hal yang demikian, beliau turut menerangkan bahawa Malaysia mengalami peralihan epidemiologi yang mengakibatkan berlakunya peningkatan penyakit yang berkaitan dengan gaya hidup, terutamanya kanser.\u00a0\n\u201cTiga jenis kanser yang paling kerap berlaku di Malaysia ialah kanser payudara (19%) diikuti dengan kanser kolorektal atau usus besar (13.5%) dan kanser paru-paru (9.8%). Dalam kalangan lelaki, kanser kolorektal merupakan kanser yang paling kerap berlaku, manakala kanser payudara dilaporkan sebagai kanser tertinggi dalam kalangan wanita,\u201d tambah beliau.\nBerdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, kanser menyumbang kepada 11.56 peratus daripada jumlah kematian di hospital kerajaan pada tahun 2020 berbanding dengan hanya 9.34 peratus pada tahun 2000." "Peningkatan Kes Harian Tidak Jejas Sistem Kesihatan Awam Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Malaysia sekali lagi mencatatkan lima angka kes harian COVID-19 pada 6 Februari 2022 dan 7 Februari 2022 setelah kali terakhir dilaporkan pada 2 Oktober 2021. Peningkatan kes yang agak ketara sepanjang bulan Februari 2022 masih lagi tidak menjejaskan sistem kesihatan awam negara buat masa ini. Peningkatan kes tersebut juga bukanlah suatu yang di luar jangkaan kerana varian Omicron sememangnya lebih mudah merebak seperti yang berlaku di seluruh dunia.\nMenurut Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin, sebanyak 5566 kes baharu COVID-19 dilaporkan pada 1 Februari 2022, 5736 kes pada 2 Februari 2022, 5720 kes pada 3 Februari 2022, 7234 kes pada 4 Februari 2022, 9117 kes pada 5 Februari 2022, dan 10 089 kes pada 6 Februari 2022. Walaupun berlakunya peningkatan kes, kebanyakan kes tersebut merupakan kes yang tidak bergejala atau bergejala ringan, iaitu dalam kategori klinikal 1 dan 2A.\n\u201cBagi perkara berkaitan dengan kluster pula, terdapat 89 kluster baharu COVID-19 yang dikenal pasti pada Minggu Epid 5 dengan 353 kluster aktif. Daripada jumlah tersebut, 52 kluster (58.4 peratus) merupakan kluster pendidikan, 20 kluster (22.5 peratus) daripada kluster tempat kerja, tujuh kluster (7.9 peratus) daripada kluster komuniti, enam kluster (6.7 peratus) kluster dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi, tiga kluster (3.4 peratus) daripada kluster pusat tahanan, dan satu kluster (1.1 peratus) daripada kluster keagamaan. Walaupun berlakunya peningkatan jumlah kes harian, jumlah kluster yang dilaporkan adalah berkurangan sebanyak 16 peratus pada Minggu Epid 5 berbanding dengan minggu sebelumnya,\u201d ujar Khairy.\nTambah beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah mengaktifkan semula National COVID-19 Rapid Response Task Force (RRTF) bagi memastikan tahap kesiapsiagaan yang tinggi dalam menghadapi gelombang terbaharu ini. RRTF yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) akan melaksanakan tindakan awalan pantas dalam mengawal penularan di sesebuah negeri atau kawasan serta membuat pelaporan terus kepada Menteri Kesihatan. Antara tindakan awalan pantas adalah dengan menambah dan mengubah suai katil bukan COVID-19, membina hospital medan dan menyumberluaran pesakit ke hospital swasta.\nMenyentuh perkembangan kadar vaksinasi Malaysia, beliau memaklumkan bahawa hingga 6 Februari 2022, sejumlah 25 720 902 atau bersamaan dengan 78.8 peratus penduduk Malaysia yang berumur 12 tahun dan ke atas telah menerima dos lengkap vaksin COVID-19 manakala sebanyak 33 599 atau 1 peratus kanak-kanak berumur lima tahun hingga 12 tahun telah menerima dos pertama vaksin COVID-19. Seterusnya, sejumlah 12 361 663 atau 52.8 peratus penduduk Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas telah menerima dos penggalak vaksin COVID-19.\n\u201cKKM amat menggalakkan penduduk Malaysia untuk mendapatkan dos penggalak dengan seberapa segera bagi melindungi diri, keluarga dan negara, terutamanya dengan peningkatan kes yang mendadak pada masa ini,\u201d katanya dalam sidang media tersebut. \nHingga kini, terdapat lebih kurang 32 peratus atau 1 juta golongan warga emas yang masih belum mengambil dos penggalak. Sehubungan dengan itu, KKM memohon supaya golongan tersebut segera mendapatkan dos penggalak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ada di seluruh negara. KKM juga memaklumkan bahawa individu yang berusia 60 tahun dan ke atas atau penerima dos lengkap vaksin Sinovac yang berusia 18 tahun dan ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac 2022.\nBagi penjagaan klinikal kes COVID-19, rakyat Malaysia dinasihatkan agar menjalani ujian COVID-19 sekiranya bergejala dan memuat naik keputusan sama ada positif atau negatif dalam aplikasi MySejahtera. Individu yang positif COVID-19 kategori 1 (tidak bergejala) dan kategori 2A (bergejala ringan) serta tidak berisiko tinggi (60 tahun ke bawah dan tidak mempunyai sebarang komorbid) tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC). Individu yang perlu hadir ke CAC terdekat untuk penilaian akan dimaklumkan sama ada melalui aplikasi MySejahtera ataupun dihubungi oleh pihak CAC. Tempoh kuarantin bagi individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada kes positif COVID-19 ialah lima hari bagi individu yang telah menerima dos penggalak, tujuh hari bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan 10 hari bagi individu yang belum lengkap vaksinasi atau masih belum divaksinasi.\nBagi mengurangkan kesesakan di CAC, semua individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada kes positif termasuklah yang belum divaksinasi hanya akan diberikan Home Surveillance Order (HSO) digital dan menjalani kuarantin di rumah masing-masing. Sekiranya bergejala, individu tersebut perlu melakukan ujian kendiri tanpa perlu hadir ke CAC.\n\u201cSemua klinik kesihatan di bawah KKM telah bersedia untuk menerima kedatangan pesakit yang ramai. Hingga 7 Februari 2022, terdapat 370 buah CAC di klinik kesihatan dan komuniti yang sedang beroperasi untuk membuat penilaian pesakit positif COVID-19,\u201d tambah Khairy.\nSelain vaksinasi dan isolasi, KKM juga dalam proses membangunkan COVID-19 Clinical Care Pathway. Tujuannya adalah untuk memulakan ubat antiviral terkini yang akan diberikan kepada pesakit COVID-19 berisiko tinggi pada peringkat lebih awal bagi mencegah jangkitan daripada menjadi lebih teruk. Rawatan ini akan meliputi pesakit di klinik kesihatan, CAC, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), dan hospital bagi pesakit yang dimasukkan ke dalam wad. Rawatan antiviral ini akan dimulakan setelah bekalan ubat tersebut tersedia.\nMengakhiri sidang medianya, beliau menyeru masyarakat Malaysia untuk mendapatkan dos penggalak daripada PPV berhampiran. KKM juga menggalakkan para majikan meneruskan amalan Bekerja Dari Rumah (BDR) dan penggiliran kerja kerana kedua-dua kaedah tersebut dapat mewujudkan persekitaran yang selamat di tempat kerja. Para majikan juga perlu membantu pekerja masing-masing melaksanakan ujian kendiri dengan menyediakan kit ujian COVID-19. Hal ini adalah penting untuk mengimbangi kesihatan awam dan pemulihan ekonomi Malaysia." "Peribahasa Bukti Keintelektualan Bangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sejak lebih 800 tahun peribahasa kekal diungkapkan hingga ke hari ini dan kajian serta penyelidikan terus sahaja berlaku ke atas peribahasa oleh penyelidik tempatan dan luar negara. Keistimewaan peribahasa bukanlah semata-mata pada metaforanya tetapi bagaimana peribahasa ini berjaya mengungkapkan makna yang tersirat dan menyampaikan pengajaran kepada khalayak serta kekal relevan mendepani zamannya.\nSehubungan dengan itu, satu kupasan menarik tentang peribahasa telah disampaikan oleh Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin, Felo Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia pada pagi tadi. Beliau berkongsi maklumat tentang peribahasa kepada khalayak melalui slot Jendela Fikir terbitan BERNAMA Radio yang bertajuk \u201cPeribahasa: Cerminan Genius dan Ekonomik\u201d yang dikendalikan oleh Irfan Faruqi.\nMenurut Prof. Dr. Nor Hashimah, peribahasa berbeza daripada simpulan bahasa, iaitu satu lagi warisan bahasa yang dimiliki oleh bahasa Melayu yang juga unik tetapi mengandungi kata yang lebih pendek seperti kaki ayam dan kaki bangku. Kedua-dua contoh simpulan bahasa ini memberikan makna berdasarkan penelitian masyarakat tentang keadaan sifat objek yang dilihat yang kemudian dianalogikan tentang sifat manusia itu pula.\nTambahnya lagi, ayat yang digunakan untuk menghasilkan peribahasa lebih panjang kerana mempunyai makna yang lain di sebalik apa-apa yang dibaca atau dituturkan seseorang itu melalui peribahasa tersebut. Jelasnya, sesuatu peribahasa itu memerlukan penghayatan yang tidak hanya di peringkat luaran dan harfiah sahaja, bahkan menuntut pemikiran yang mendalam terhadap maksud yang hendak disampaikan.\nPeribahasa mempunyai metafora atau perlambangan yang sangat kompleks. Malah yang lebih unik, peribahasa yang diwarisi ini tidak diketahui penciptanya dan juga tiada penulis yang direkodkan. Peribahasa terhasil kerana pengamatan, pencerapan dan penghayatan yang amat tinggi oleh masyarakat kepada alam sekitarnya ketika itu.\nMenurutnya lagi, peribahasa yang ada dalam bahasa Melayu ini walaupun mempunyai persamaan tema dengan peribahasa bangsa lain (contohnya peribahasa dalam bahasa Inggeris), telah terbukti sangat penting dalam menterjemahkan keintelektualan bangsa di Alam Melayu ini.\nBerdasarkan pengamatan terhadap alam sekitar, bangsa Melayu di Alam Melayu menjanakan pengalaman serta keintelektualannya melalui peribahasa yang dihasilkan ini. Peribahasa yang terhasil ini mempunyai falsafah tersendiri dan mencabar minda masyarakat pada hari ini untuk berfikir dan seterusnya memahami peribahasa ini.\nHasil penelitian terhadap citra budaya, peribahasa terhasil daripada cara orang Melayu berkomunikasi secara beradab dan bertatasusila ataupun secara beralas. Peribahasa yang diungkapkan ini bukan sahaja untuk menyindir tetapi mengandungi pengajaran agar dapat mewujudkan keharmonian dalam masyarakat daripada penggunaan kata yang dipilih itu.\nPeribahasa menggunakan kata yang padat dan ekonomik. Kata yang digunakan akan memandu penutur peribahasa dan membantu khalayaknya mentafsirkan makna yang dikehendaki. Tema peribahasa merangkumi alam sekitar, politik dan keseluruhan budaya sesebuah masyarakat dan bersifat menyeluruh.\nMenurut Prof. Dr. Nor Hashimah, generasi pada hari ini amat terhad pengetahuannya untuk memahami dan menghayati peribahasa. Keadaan menjadi lebih buruk kerana ada dalam kalangan generasi muda yang tidak pernah melihat objek yang disebut atau diungkapkan dalam peribahasa tersebut.\nTambahnya lagi, peribahasa juga mempunyai kesan kognitif kepada penuturnya. Terdapat ilmu yang khusus di sebalik peribahasa. Contohnya, peribahasa seperti bagai duri dalam daging, yang telah menghubungkannya dengan sains makanan dan kesannya kepada manusia. Daging menjelmakan metafora realiti penyakit kanser kepada manusia dan juga melambangkan kanser bersifat abstrak, iaitu sikap negatif yang menjadi barah dalam psikologi masyarakat.\nProf. Dr. Nor Hashimah turut berpesan agar generasi pada hari ini tidak merubah dan mengabaikan peribahasa yang lengkap dengan pakej falsafah." "Tindakan Segera Pulih Kanak-kanak Lambat Bercakap\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\n\u00a0\nKuala Lumpur \u2013 Pandemik COVID-19 sememangnya memberikan impak kepada pelbagai pihak. Trend kehidupan masyarakat pintar peranti yang terlalu bergantung pada teknologi ini semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberi kesan buruk kepada kanak-kanak termasuklah lambat dalam percakapan. Tanpa disedari atau pun isu ini diambil ringan, gejala kanak-kanak lambat bercakap diberikan perhatian cukup penting oleh pakar kanak-kanak di seluruh negara.\nHal ini dikongsi bersama oleh Dr. Hairin Anisa Tajudin, pakar pediatrik dan pensyarah di Universiti Monash Malaysia dalam Slot Korensponden Bernama TV bersama-sama penyampai Fadzly Fuad yang telah membincangkan tajuk \u201cGejala Kanak-kanak Lambat Bercakap Membimbangkan\u201d semalam.\nTambah beliau, PKP bukan sahaja merencat aktiviti ekonomi tetapi juga telah menjejaskan perkembangan minda kanak-kanak akibat sikap sambil lewa ibu bapa yang bergantung sepenuhnya kepada gajet untuk mententeramkan mereka. Ruang masa yang berlebihan oleh kanak-kanak kepada gajet telah menyebabkan otak kanak-kanak tidak berkembang dengan baik dan sukar memberikan tumpuan kepada perkara sekeliling.\nBerdasarkan kajian yang telah dilakukan di Toronto, Kanada selama empat tahun bermula tahun 2011 hingga tahun 2015, secara purata kanak-kanak menggunakan gajet selama 28 minit dan boleh mencapai hingga 30 minit sehari. Tanpa disedari, 49 peratus kanak-kanak ini berdepan dengan atau mengalami keadaan lambat bercakap (expressive speech delay). Kanak-kanak yang mengalami gejala ini lazimnya tidak boleh meluahkan apa yang mereka fahami. Hal ini sudah pasti akan memberikan kesan buruk kepada perkembangan pertuturan apabila tidak diberikan rawatan.\nPada masa yang sama, Dr. Hairin Anisa Tajudin menegaskan bahawa terdapat faktor lain yang turut menyumbang kepada keadaan lambat bercakap seperti masalah pendengaran atau kecacatan yang dialami sejak bayi lagi seperti kekurangan oksigen, gangguan sindrom atau penyakit kronik.\n\u201cKebanyakan ibu bapa tidak mengambil serius berkaitan gangguan perkembangan dalam kalangan kanak-kanak seperti autisme dan masalah tingkah laku. Keadaan lidah terikat atau tongue tie juga menjadi punca kepada kepada keadaan lambat bercakap dalam kalangan kanak-kanak\u201d, ujar beliau.\nBeliau menjelaskan, kanak-kanak yang mengalami gejala kanak-kanak lambat bercakap dapat dipulihkan secara berperingkat. Ibu bapa atau penjaga perlu membawa kanak-kanak berjumpa dengan doktor pakar kanak-kanak. Ujian pendengaran, rawatan terapi, ujian deria dan pengesanan penyakit autisme akan dilakukan bagi mengenal pasti punca dan jenis rawatan bersesuaian.\nBeliau berpesan agar ibu bapa memberikan ruang masa untuk berkomunikasi dan bertutur dengan kanak-kanak secara konsisten. Ibu bapa juga disarankan untuk mengelak daripada menggunakan perkataan pelat. Stimulasi kepada kanak-kanak juga penting untuk merangsang mereka bertutur. Sebagai contohnya, penggunaan soalan seperti \u201capa itu mata?\u201c lebih tepat berbanding \u201cyang mana mata?\u201c. Hal ini penting untuk merangsang kanak-kanak menyebut perkataan mata berbanding menunjukkan mata.\n\u201cIbu bapa hendaklah kerap berbicara dengan kanak-kanak. Dengan cara ini, mereka dapat dilatih untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan. Tidak memberikan gajet kepada kanak-kanak yang lambat bercakap adalah tindakan yang amat perlu dan mesti dipatuhi dengan disiplin yang tinggi sekiranya kita mahu memulihkan kanak-kanak ini,\u201c tegasnya lagi." "Adakah Penggunaan Rokok Elektronik Selamat?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPopulariti menggunakan rokok elektronik semakin meningkat terutamanya dalam kalangan remaja. Kebanyakan orang memilih untuk menghisap rokok elektronik kerana merasakan bahawa penggunaannya lebih selamat daripada merokok. Penggunaan rokok elektronik juga dikatakan dapat melatih diri untuk berhenti daripada merokok konvensional.\nDilaporkan bahawa tujuh daripada 10 perokok tegar ingin berhenti merokok. Namun demikian, adakah dengan menggunakan rokok elektronik sebagai medium perantara untuk berhenti merokok merupakan tindakan yang selamat dan wajar? Mengapakah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak meluluskan rokok elektronik sebagai bahan pengantara untuk berhenti merokok? Adakah menghisap rokok elektronik mempunyai kesan sampingan yang sama seperti merokok? Terlalu banyak persoalan yang perlu dijelaskan agar perokok tegar tidak menggunakan rokok elektronik sebagai langkah utama untuk berhenti merokok.\nBahan kimia daripada rokok elektronik mengandungi cecair nikotin, perasa, pewarna, dan bahan kimia lain yang akan terbebas sebagai wap semasa disedut. Menurut laporan daripada Center of Disease Control and Prevention, kes kerosakan paru-paru dan kematian yang disebabkan oleh menghisap rokok elektronik semakin meningkat setiap tahun. Data pada bulan Februari 2020 menunjukkan sebanyak 2807 kes kerosakan akut paru-paru atau e-cigarette or vaping use-associated lung injury (EVALI) dan 68 kematian dilaporkan akibat penggunaan rokok elektrik. Menurut kajian, cecair rokok elektronik mengandungi vitamin E acetat yang menjadi satu daripada punca pesakit mendapat penyakit EVALI. Vitamin E acetat ini juga dijumpai dalam cecair paru-paru kesemua pesakit yang mengalami masalah EVALI.\nKajian di seluruh dunia mendapati penggunaan rokok elektronik memberi kesan negatif terhadap kesihatan jantung dan paru-paru. Nikotin merupakan bahan kimia utama dalam cecair rokok elektronik. Nikotin boleh memberi kesan ketagihan terhadap individu yang mengamalkan rokok elektronik. Nikotin merupakan bahan toksik berbahaya kepada badan yang boleh meningkatkan tekanan darah dan rembesan hormon adrenalin dalam darah yang menyebabkan peningkatan denyutan jantung. Kesemua perubahan ini dapat meningkatkan risiko individu untuk mendapat serangan jantung pada usia muda.\nAdakah kandungan nikotin di dalam rokok elektronik kurang dari rokok tradisional? Jika dibandingkan dengan rokok tradisional, menghisap rokok elektronik mempunyai bahan kimia yang rendah berbanding dengan asap rokok. Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah rokok elektronik mempunyai kandungan nikotin yang jauh lagi tinggi daripada rokok tradisional. Memandangkan rokok elektronik boleh diubah suai seperti ketinggian voltan atau menggunakan cecair yang lebih pekat, kandungan nikotin yang disedut mungkin mempunyai kepekatan jauh lebih tinggi daripada rokok biasa.\nWap panas daripada sedutan rokok elektronik juga boleh menyebabkan kerosakan paru-paru pada jangka masa panjang. Kajian mendapati bahawa wap daripada rokok elektronik menyebabkan pengurangan lumen salur paru-paru akibat pengecutan otot di salur pernafasan semasa menghisap rokok elektronik. Oleh sebab itu, pesakit asma berisiko tinggi mendapat serangan asma akut jika menghidu atau terhidu wap rokok elektronik.\nPenggunaan rokok elektronik juga memberi kesan terhadap kanak-kanak dan remaja. Otak manusia akan berkembang bermula dari waktu lahir hingga umur 25 tahun. Penggunaan nikotin pada usia remaja mampu merosakkan sebahagian daripada fungsi otak dan menyebabkan gangguan pada fokus, masalah pembelajaran dan mengawal emosi.\nSepanjang tumbesaran kanak-kanak, sinaps atau jaringan yang menghubungkan sel saraf di otak berkembang dengan pesat. Setiap kali memori baharu terhasil atau kemahiran baru diperoleh, sinaps\u00c2\u00a0antara sel menjadi lebih kuat. Otak kanak-kanak dan remaja juga menghasilkan sinaps jauh lagi cepat daripada otak dewasa. Pengambilan nikotin boleh membuatkan penyatuan sinaps ini terbantut. Hal ini menjadi punca utama menghisap rokok elektronik mengurangkan konsentrasi atau membantutkan proses pembelajaran kanak-kanak dan remaja.\nKebanyakan orang mendakwa bahawa kandungan perasa dalam cecair rokok elektronik adalah daripada bahan yang boleh dimakan dan selamat untuk disedut dalam bentuk wap air. Dakwaan tersebut adalah salah sama sekali. Setiap organ dalam badan mempunyai fungsi yang spesifik untuk menjadikan badan sentiasa sihat. Saintis mendapati pewarna atau perasa dalam cecair rokok elektronik adalah berbahaya kepada paru-paru. Hal ini dikatakan demikian kerana paru-paru tidak mempunyai enzim yang diperlukan untuk mencernakan perasa rokok elektronik berbanding dengan usus yang mempunyai fungsi untuk berbuat demikian. Oleh sebab itu, paru-paru tidak boleh dianggap mempunyai fungsi pencernaan seperti usus. Apabila bahan kimia tidak dapat dicernakan, bahan tersebut akan berkumpul dan merosakkan paru-paru pada jangka masa panjang.\nBagaimanakah pula dengan individu yang tidak merokok, namun menghidu asap atau wap rokok elektronik daripada persekitaran? Adakah mereka juga mempunyai risiko kesihatan yang sama seperti penghisap rokok elektronik? Kajian mendapati mereka yang terdedah kepada asap dan wap rokok sekunder berisiko tinggi untuk mendapat masalah seperti yang berikut:\nBagi wanita yang mengandung, risiko kesihatan yang boleh dialami apabila terdedah kepada asap dan wap rokok elektronik boleh menyebabkan masalah seperti yang berikut:\nWalaupun rokok elektronik sering kali dijadikan rujukan untuk berhenti merokok, KKM atau persatuan perubatan seluruh dunia tidak pernah meluluskan rokok elektronik sebagai satu daripada pilihan untuk berhenti merokok. Hal ini disebabkan oleh kesan sampingan yang boleh berlaku pada jangka masa pendek dan panjang. Terdapat pelbagai cara lain untuk berhenti merokok yang lebih berkesan dan diluluskan oleh KKM seperti mendapatkan perkhidmatan berhenti merokok di klinik berhenti merokok.\nKlinik berhenti merokok ialah klinik yang ditubuhkan bagi membantu perokok yang bertekad untuk membuang tabiat yang berbahaya ini. Khidmat yang ditawarkan di klinik ini termasuklah kaunseling individu dan berkumpulan serta terapi gentian nikotin (NRT). Setiap perokok yang bermotivasi untuk berhenti merokok akan diberikan NRT yang bertindak untuk mengurangkan rasa gian terhadap nikotin serta mengurangkan atau mencegah gejala tarikan yang mungkin berlaku semasa proses berhenti merokok. NRT tidak mempunyai bahan kimia seperti yang biasa terdapat dalam asap rokok. NRT dibekalkan dalam dos yang rendah sebagai gantian nikotin kepada rokok.\nSebagai kesimpulannya, amalan menggunakan rokok elektronik boleh memberikan impak pada kesihatan. Walaupun kesan tersebut mungkin tidak diketahui sehingga bertahun-tahun lamanya, namun orang ramai hendaklah menolak amalan tersebut demi menjaga kesihatan." "Cegah Kanser Sebelum Terlambat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013\u00a0Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyertai aktiviti berbasikal yang diadakan sempena Hari Kanser Sedunia dalam program \u201cPerlis Hebat: Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Tindakan\u201d anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), petang semalam. Program ini disekalikan dengan aktiviti MAIPs Peduli Bilangan ke-10 bagi tahun 2022 yang bertemakan \u201cRapatkan Jurang Penjagaan Kanser\u201d. Tujuan aktiviti ini diadakan adalah untuk mengenal pasti ketidaksamarataan dan jurang yang wujud dalam penjagaan kesihatan kanser di seluruh dunia serta mewujudkan ekuiti dalam menyediakan perkhidmatan yang diperlukan secara saksama dalam penjagaan kanser. Hal ini adalah penting agar pesakit kanser dapat menikmati peluang yang sama untuk mendapatkan rawatan di mana-mana mereka berada sekali gus menikmati kesihatan yang optimum.\n\n\nDYTM Raja Muda Perlis diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor berkesempatan menyantuni tiga buah rumah asnaf bersempena dengan program tersebut. Agihan zakat MAIPs telah disampaikan oleh DYTM Raja Muda Perlis kepada asnaf yang terlibat, iaitu Puan Risnita Elias (60 tahun), Puan Rasanah Abdul (70 tahun) dan Puan Azizah Din (75 tahun). DYTM Raja Muda Perlis turut berkesempatan berkunjung ke Mirnaz Roomstay di Lot 2355, Kampung Masjid, Batu 3 3/4 Jalan Kaki Bukit, Kangar yang baru mula beroperasi dengan berkonsepkan penginapan yang menarik di tengah-tengah kawasan sawah.\nPada masa yang sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Sirajuddin Hashim telah berkongsi maklumat berkaitan dengan kes kanser. Beliau menyatakan bahawa menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, lebih daripada satu per tiga kes kanser boleh dicegah, manakala satu per tiga kes kanser lagi boleh diubati jika dikesan pada peringkat awal dan dirawat dengan segera. Seterusnya, satu per tiga lagi adalah kualiti hidup dapat dipertingkatkan dengan rawatan paliatif.\n\u201cBerdasarkan Laporan Pendaftaran Kanser Perlis, kanser utama dalam kalangan lelaki ialah kanser kolorektal, diikuti dengan kanser paru-paru dan seterusnya kanser prostat. Bagi wanita pula, kanser payudara merupakan kanser yang tertinggi diikuti dengan kanser kolorektal dan kanser serviks\u201d, katanya dalam program tersebut.\nTambah beliau, pencegahan kanser boleh dilakukan melalui beberapa cara seperti mengamalkan gaya hidup yang sihat. Amalan pemakanan yang sihat, mengekalkan berat badan yang optimum dan aktif secara fizikal membolehkan seseorang itu mampu mencegah dan mengurangkan risiko berlakunya kanser.\nBeliau turut menasihati masyarakat agar berhenti merokok melalui perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok atau melayari www.jomquit.com bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang hal ini. Pengambilan rokok atau tembakau telah menyebabkan lapan juta kematian setiap tahun dan menyebabkan sekurang-kurangnya 25 peratus daripada semua kematian itu disebabkan oleh kanser. Ujian saringan kanser kolorektal dengan menggunakan immunochemical fecal occult blood test (iFOBT) juga perlu dilakukan bagi individu yang berusia 50 tahun dan ke atas. Menurut beliau lagi:\nGolongan wanita perlu melakukan pemeriksaan sendiri payudara dengan cara yang betul sekurang-kurangnya dalam tempoh sebulan sekali. Selain itu, mereka juga perlu melakukan ujian saringan pap smear atau HPV/DNA bagi mereka yang pernah dan masih aktif secara seksual. Teruskan menyokong Program Imunisasi HPV Kebangsaan bagi suntikan vaksinasi HPV kepada semua warganegara wanita yang berusia 13 tahun dan layak mendapat suntikan tersebut." "Revolusi Teknologi Sel Bahan Api dalam Pengendalian Dron\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRevolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) boleh dianggap sebagai anjakan paradigma terhadap pencapaian sains dan teknologi pada tahap inovasi yang lebih canggih, kreatif dan pintar berbanding dengan teknologi yang sedia ada. Tercetusnya IR 4.0 dapat dilihat daripada munculnya teknologi seperti superkomputer, pesawat tanpa pemandu atau dron, robot autonomi, integrasi sistem, keselamatan siber, dan lain-lain lagi. Penggunaan teknologi pintar ini memudahkan urusan seharian manusia dari sudut penjimatan masa serta meningkatkan kecekapan dan mutu sesuatu pekerjaan. Walaupun seluruh dunia sedang menuju ke arah IR 4.0, adakah semua pihak menyedari bahawa sumber tenaga yang digunakan sehari-harian, sebahagian besarnya masih lagi bergantung pada sumber yang tidak boleh diperbaharui seperti petroleum dan gas asli? Oleh sebab itu, penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti sel bahan api ialah pendekatan yang boleh dikatakan tepat pada masanya.\nSel bahan api ialah teknologi yang berasaskan kepada tindak balas elektrokimia untuk menghasilkan tenaga elektrik. Secara umumnya, sel bahan api akan dibekalkan dengan hidrogen di bahagian anod (terminal negatif), gas oksigen di bahagian katod (terminal positif) dan dipisahkan oleh konduktor ion elektrolit. Penghasilan tenaga elektrik melalui sel bahan api adalah lebih efektif daripada penghasilan tenaga secara konvensional seperti enjin dan bateri. Hal ini kerana sel bahan api akan menghasilkan air dan haba sebagai hasil sampingan. Tambahan pula, sel bahan api dapat beroperasi untuk suatu tempoh yang lebih lama berbanding dengan bateri selagi bahan-bahan bakarnya seperti gas hidrogen dibekalkan secara berterusan. Sel jenis ini tidak perlu melalui proses pengecasan semula setelah digunakan untuk suatu tempoh seperti bateri.\nSatu unit sel bahan api akan menghasilkan kuasa elektrik dalam kuantiti yang sedikit. Oleh sebab itu, setiap unit sel bahan api haruslah digabungkan dengan beberapa unit sel bahan api lain bagi menghasilkan kuasa yang tinggi. Kepelbagaian kuasa yang dapat dihasilkan oleh sel bahan api bermula daripada serendah-rendah miliwatt hingga megawatt. Hal ini menjadikannya sangat sesuai untuk digunakan dalam pelbagai aplikasi. Antara kelebihan lain daripada penggunaan sel bahan api ialah keupayaannya dalam menerima pelbagai jenis bahan bakar seperti ammonia, metana dan metanol. Di sebalik kelebihan tersebut, penyelidikan sel bahan api perlu dirancakkan dan diperkemas bagi menyelesaikan beberapa isu seperti kos, sensitiviti elektrod serta penguraian elektrod disebabkan oleh pemendakan karbon pada permukaan pemangkin. Dengan itu, penggunaan sel bahan api dapat diperluas pada masa akan datang seperti dalam teknologi dron.\nKini, teknologi dron telah banyak digunakan di kebanyakan negara untuk tujuan pengawasan dan pemantauan. Pada kebiasaannya, dron menggunakan bateri untuk beroperasi. Penggunaan bateri berasaskan logam litium seperti litium ion, sememangnya tidak asing lagi di seluruh dunia kerana ketumpatan tenaganya yang tinggi. Namun begitu, permasalahan timbul kerana bateri adalah berat dan hanyalah terhad kepada penghasilan kuasa antara 150 Wh/kg hingga 200 Wh/kg sahaja. Oleh sebab itu, penggunaan sel bahan api untuk diadaptasikan kepada dron atau pesawat tanpa pemandu secara tidak langsung dapat menyelesaikan beberapa cabaran dalam teknologi aviasi atau penerbangan. Penggunaan gas hidrogen dalam sel bahan api boleh dimanfaatkan kepada dron lantas menjadikan operasi dron lebih cekap berbanding dengan penggunaan bateri dan enjin biasa. Ketumpatan tenaga yang tinggi sel bahan bakar yang dijana oleh hidrogen ini memberikan lebih banyak tenaga per unit berat lantas menjadikan dron berada lebih lama di udara berbanding dengan tempoh masa antara 30 minit hingga 40 minit dengan menggunakan bateri.\nPenggunaan sel bahan api ke atas dron memerlukan penelitian terhadap beberapa perkara seperti suhu, saiz dan berat sesuatu sel bahan api tersebut. Tambahan pula, tidak semua jenis sel bahan api sesuai digunakan ke atas dron seperti sel bahan api beralkohol atau alcoholic fuel cell, sel bahan api asid fosforik atau phosphoric acid fuel cell dan sel bahan api karbonat lebur atau molten carbonate fuel cell.\nPada masa ini, sel bahan api membran pemindahan proton atau proton exchange membrane fuel cell (PEMFC) menjadi pilihan utama untuk digunakan ke atas dron. Hal ini dikatakan demikian kerana PEMFC beroperasi pada suhu yang rendah, iaitu antara suhu 80o Celsius hingga 160o Celsius dan tidak memerlukan elektrolit cecair yang menghakis dan berketumpatan tenaga kuasa yang tinggi. Sementara itu, bagi sel bahan bakar berasaskan metanol atau direct methanol fuel cell, isu seperti ketoksikan metanol dan pengeluaran karbon monoksida perlu diambil kira jika sel ini hendak digunakan ke atas dron. Selain itu, sel bahan api oksida pepejal (SOFC) juga boleh dijadikan sebagai pilihan untuk digunakan kepada dron kerana keupayaannya beroperasi pada suhu yang tinggi, iaitu lebih daripada suhu 400o Celsius.\nSebagai contohnya, satu daripada kejayaan penyelidikan SOFC dapat dilihat apabila sekumpulan penyelidik daripada Pohang University of Science and Technology di Korea Selatan telah menggabungkan antara keluli tahan karat berpori dengan filem nipis bagi elektrolit dan elektrod yang berasaskan oksida logam. Penyelidikan yang diketuai oleh Profesor Gyeong Man Choi ini telah menghasilkan SOFC dengan ketumpatan kuasa sebanyak 560 mW/cm2 pada suhu operasi 550o Celsius. Hal ini menyebabkan SOFC sesuai digunakan untuk dron yang memerlukan ketumpatan kuasa yang tinggi dan kecepatan masa dihidupkan.\nMelalui data ini, penyelidik berharap dron dapat berada di udara lebih daripada satu jam berbanding dengan menggunakan bateri. Di samping itu, sifat SOFC yang fleksibel terhadap bahan api yang digunakan telah dimanfaatkan oleh penyelidik dari Korea Institute of Science and Technology dengan menggunakan butana sebagai bahan bakar serta memasukkan pemangkin sekunder, iaitu kuprum, paladium dan rutenium ke dalam anod nanostruktur. Komposit SOFC ini berjaya beroperasi pada suhu 600o Celsius dan sesuai untuk digunakan ke atas robot, dron dan kenderaan elektrik.\nPenggunaan dron yang dijanakan tenaganya oleh SOFC juga telah dibangunkan oleh negara Jepun dengan kerjasama beberapa firma penyelidikan seperti Pro Drone Co. Ltd., Atsumitec Co. Ltd., Pusat Teknologi Alam Sekitar Jepun, Agensi Penyelidikan dan Pembangunan Nasional Jepun, Institut Sains dan Teknologi Perindustrian Lanjutan Jepun dan Pusat Penyelidikan untuk Bahan Berfungsi Jepun. Penghasilan dron ini menjadi lebih menarik apabila terdapatnya pembahagian tugasan yang spesifik dan kesediaan institusi penyelidikan ini untuk membantu antara satu sama lain dalam menjayakan projek dron yang dijana oleh SOFC.\nSebagai contohnya, syarikat Atsumitec menyediakan SOFC bersepadu (stacking), manakala syarikat Pro Drone Co. Ltd. pula menggunakan SOFC bersepadu ke dalam dron serta diberikan tugasan untuk mengurangkan berat keseluruhan dron tersebut. Dron yang berasaskan SOFC ini dapat berada di udara lebih lama dengan pengurangan berat sebanyak 60 peratus daripada dron konvensional. Tambahan pula, penggunaan gas petroleum cecair dalam sistem dron tersebut dijangka dapat memberikan kemudahan kepada sektor logistik, infrastruktur, pemantauan bencana, dan sebagainya.\nDi Malaysia, teknologi dron telah berjaya menembusi pelbagai sektor seperti pertanian, pertahanan, kesihatan, dan lain-lain lagi. Pihak berkuasa telah menyediakan pelbagai latihan dan inisiatif melalui pelbagai badan yang dilantik seperti Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia dan Malaysia Digital Economy Corporation dalam pengendalian dron agar dapat melahirkan masyarakat yang celik teknologi. Namun begitu, penyelidikan terhadap dron yang berasaskan kepada sel bahan api masih berada pada peringkat permulaan.\nPencapaian yang sepatutnya dibanggakan adalah apabila telah adanya kerjasama antara NanoCommerce Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat NanoMalaysia Sdn. Bhd. dengan Pulsar UAV Sdn. Bhd. untuk membangunkan dron yang berasaskan hidrogen. Kerjasama seperti ini amat penting kerana industri dron global dilihat akan meningkat dan dapat memberikan keuntungan kepada negara pada masa akan datang. Tambahan pula, pencapaian ini seiring dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat teknologi dron Asia Tenggara walaupun terdapat saingan daripada negara jiran seperti Thailand dan Singapura.\nSecara keseluruhannya, keupayaan sel bahan api menggantikan bateri untuk digunakan kepada dron sememangnya tidak dapat dinafikan. Hal ini menjadikan teknologi dron mengalami revolusi baharu ke arah teknologi yang lebih canggih. Tambahan pula, penggunaan sel bahan api bukan dapat dimanfaatkan oleh dron sahaja. Kemajuan penciptaan ini turut sama boleh diaplikasikan kepada teknologi lain. Walau bagaimanapun, penyelidikan terhadap sel bahan api sudah tentunya dimantapkan dan perlu melepasi beberapa ujian saringan agar bersifat lebih mesra alam dan pengguna. Di samping itu, kerjasama antara semua pihak termasuklah ahli akademik, pemain industri, kerajaan, dan swasta haruslah dipertingkatkan bagi menjayakan hasrat Malaysia untuk terus maju ke hadapan." "Kepentingan Produktiviti dalam Menjamin Sekuriti Makanan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cPerkembangan sektor agromakanan berdasarkan Laporan Suku Ketiga Tahun 2021 mencatatkan angka yang memberangsangkan menerusi peningkatan sebanyak lima peratus. Selain itu, sumbangan sektor agromakanan di Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.4 peratus. Namun begitu, cabaran pandemik COVID-19 di seluruh dunia dan kesan daripada banjir telah menjejaskan aktiviti rantaian sektor makanan di Malaysia,\u201d kata Dato\u2019 Haslina Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia dalam program wawancara \u201cDialog Industri AgroMakanan: Pemodenan dan Produktiviti Menjamin Sekuriti Makanan\u201d yang bersiaran secara langsung menerusi program Malaysia Hari Ini di TV3 pada 8 Februari 2022 lalu.\nSecara keseluruhannya, program anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) ini membincangkan tentang penganjuran dialog industri makanan di Malaysia. Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh MAFI bersama-sama semua pemain industri demi memastikan kualiti bekalan makanan di Malaysia berada dalam keadaan yang baik. Hal ini dapat memastikan kualiti bekalan makanan di Malaysia sentiasa mencukupi meskipun keadaan dunia kini terus menempuh cabaran pandemik COVID-19, bencana banjir dan pelbagai bencana alam.\nTema yang difokuskan dalam dialog ini, iaitu \u201cPemodenan dan Produktiviti Menjamin Sekuriti Makanan\u201d telah menzahirkan hasrat kerajaan dalam memastikan semua objektif yang digariskan dalam pelan tindakan agromakanan tercapai menerusi Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025. Ringkasnya, MAFI mempelawa pihak yang berkepentingan untuk menyerlahkan transformasi industri agromakanan di Malaysia.\n\u201cMisi dan matlamat MAFI adalah untuk memastikan sekuriti makanan di Malaysia dan pemain industri makanan di Malaysia terpelihara,\u201d kata Dato\u2019 Haslina Abdul Hamid semasa diwawancara dalam program tersebut.\nAntara barisan panel yang terlibat dalam program ini ialah Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan. Turut hadir memberi sokongan dalam program ini ialah Yang Berhormat Datuk Seri Haji Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I dan Yang Berhormat Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Haji Salleh, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II." "Odontologi Forensik dalam Mengenal Pasti Umur Individu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAnggaran umur amat diperlukan dalam kes forensik yang digunakan dalam prosiding jenayah, sukan, pendatang tanpa izin, dan penemuan mayat yang tidak diketahui identitinya. Pendekatan asas dalam mengenal pasti individu adalah dengan menganggarkan umur, jantina dan keturunan seseorang. Sebagai contohnya, anggaran umur bagi individu yang masih hidup adalah penting dalam berhadapan dengan isu seperti pendatang haram apabila ketiadaan dokumen pengenalan diri yang sah dan untuk penilaian status individu tersebut dalam kes jenayah. Dalam bidang forensik, penilaian perkembangan pergigian merupakan kaedah utama dan digunakan secara meluas. Kajian terdahulu telah menunjukkan korelasi yang signifikan antara peringkat perkembangan pergigian dan kronologi umur.\nBidang odontologi forensik adalah bidang ilmu yang jarang dikongsikan dalam kalangan masyarakat. Secara ringkasnya, odontologi forensik ditakrifkan sebagai aplikasi pengetahuan pergigian kepada undang-undang. Doktor gigi forensik atau pakar odontologi forensik terlibat dalam pemeriksaan dan penilaian kecederaan pada rahang, gigi dan tisu lembut mulut mayat manusia; pengenalan individu dalam penyiasatan jenayah atau bencana besar-besaran; pengenal pastian, pemeriksaan dan penilaian kesan gigitan serta anggaran umur daripada gigi. Mereka juga memainkan peranan penting dalam situasi seperti kaedah pengenalan biasa individu seperti cap jari dan pengecaman visual tidak dapat dilakukan, namun hanya boleh dilakukan dengan kehadiran profesional pergigian.\nDi samping itu, pakar odontologi forensik juga boleh membantu pihak berkuasa untuk mengiktiraf kecuaian, penyelewengan, penipuan atau penyalahgunaan dan pengenalan individu yang tidak diketahui dalam beberapa kes dengan memberikan maklumat yang diperlukan.\nTerdapat pelbagai kaedah yang digunakan dalam odontologi forensik untuk menentukan anggaran umur seperti kaedah morformetrik, radiologi dan biokimia. Dalam kaedah morformetrik, anggaran umur boleh ditentukan oleh perubahan morfologi yang diperhatikan pada permukaan tulang pubis, perubahan degeneratif pada permukaan aurikular di tulang pinggul dan tulang rusuk, tahap penutupan pada sutur kranial, saiz osteon serta jenis dan pemeriksaan pergigian. Dalam pendekatan biokimia, pemeriksaan asid amino dalam dentin dan paras isotop karbon-14 boleh memberikan petunjuk umur individu.\nGigi manusia kekal selama bertahun-tahun selepas kematian dan sesuai untuk menentukan anggaran umur. Gigi juga merupakan anggota badan yang paling kurang terjejas oleh persekitaran sekeliling. Pada peringkat kanak-kanak, anggaran umur menggunakan gigi agak mudah dan dibuat berdasarkan peringkat perkembangan gigi. Namun demikian, menentukan anggaran umur bagi orang dewasa menjadi cabaran dalam perubatan forensik.\nGigi diutamakan dalam kaedah anggaran umur kerana bahagian ini kurang dipengaruhi oleh faktor pemakanan, hormon dan persekitaran berbanding dengan tulang. Gigi terdiri daripada tiga lapisan utama, iaitu enamel, dentin dan pulpa. Struktur enamel sangat kuat seperti tulang, manakala dentin dan pulpa tisu yang lembut terdapat di bawah lapisan enamel. Kaedah penentuan anggaran umur pergigian bergantung pada corak perkembangan dan letusan gigi. Gigi terbukti berguna untuk menganggarkan umur kronologi dalam gigi susu dan kekal. Perkembangan dan letusan gigi ialah penunjuk yang boleh dipercayai untuk menganggarkan umur hingga umur 16 tahun. Daripada umur 16 tahun hingga 24 tahun, hanya perkembangan molar ketiga boleh dinilai, namun terdapat kebolehubahan yang ketara, ketepatannya kontroversi dan molar ketiga tidak selalu ada.\nKaedah radiologi pula mempunyai kelebihan tertentu berbanding dengan kaedah morformetrik dan biokimia untuk menentukan anggaran umur individu. Kaedah ini mudah, cepat, ekonomi, dan tidak invasif untuk mengenal pasti mayat. Imej tomografi panoramik pergigian ialah satu daripada kaedah radiologi pergigian yang digunakan oleh doktor gigi. Kaedah ini meliputi banyak struktur mulut dan gigi dan membolehkan pengumpulan imej dua dimensi (2D) yang objektif dan boleh dihasilkan semula untuk analisis variasi manusia.\nDari perspektif undang-undang, individu yang berumur 18 tahun menjadi titik tolak untuk had umur bagi sesuatu kes jenayah dalam kebanyakan negara. Gigi molar ketiga boleh digunakan untuk menilai umur kronologi seseorang berdasarkan penemuan radiografik. Pada peringkat akhir remaja dan awal dewasa bagi individu, gigi molar ketiga adalah satu-satunya gigi yang masih mengalami perubahan perkembangan. Walau bagaimanapun, letusan dan perkembangan gigi molar ketiga akan mencapai kematangan pada umur 18 tahun hingga 25 tahun.\nCabaran dalam penentuan anggaran umur meningkat apabila umur individu melebihi 25 tahun. Pemendapan dentin sekunder kemudiannya berlaku dan digunakan sebagai penunjuk dalam ramalan umur pada orang dewasa. Pemendapan dentin sekunder akan menyebabkan pengurangan rongga isi padu pulpa dalam proses penuaan.\nGigi kekal berkembang sepenuhnya pada umur 15 tahun dan 16 tahun. Oleh itu, perkembangan gigi molar ketiga boleh digunakan dengan berkesan untuk membezakan umur juvana dan dewasa. Perkembangan gigi molar ketiga berterusan sehingga umur 20 tahun hingga 23 tahun, manakala pembentukan enamel lengkap adalah pada umur 13 tahun hingga 15 tahun. Umur kronologi dan perkembangan gigi molar ketiga secara statistik telah dibuktikan oleh kajian terdahulu. Namun begitu, perbezaan jantina dan kaum menyebabkan perkaitan variasi boleh terjadi.\nVariasi penuaan boleh diukur dengan pengimejan radiografik 2D dan tiga dimensi (3D). Teknik pengimejan 2D seperti radiografi panoramik mempunyai kelemahan kerana terdedah kepada ralat pembesaran dan herotan. Pengukuran 2D juga tidak dapat mencerminkan perubahan morfologi tiga dimensi yang sebenar kerana pemendapan dentin sekunder berlaku pada semua permukaan rongga pulpa. Oleh sebab pemendapan dentin sekunder berlaku pada mana-mana permukaan rongga pulpa, pengukuran 3D boleh meneroka dengan lebih tepat kepada perubahan morfologi pemendapan dentin sekunder dalam gigi molar ketiga.\nWalau bagaimanapun, maklumat terhad imej 2D dan struktur anatomi tiga 3D boleh diatasi dengan menggunakan sistem pengimbasan tomografi berkomputer alur kon (CBCT). CBCT membolehkan visualisasi tiga dimensi gigi tanpa superimposisi, herotan atau pembesaran. Gigi ialah struktur 3D dan perkembangannya boleh dinilai dengan lebih tepat menggunakan modaliti pengimejan 3D. Teknologi CBCT yang dipertingkatkan telah menjadikannya sebagai satu daripada modaliti pengimejan yang paling boleh dipercayai dalam sains forensik. Kelebihan menggunakan CBCT berbanding imbas CT perubatan termasuklah kos yang lebih rendah, resolusi voksel yang lebih tinggi, masa imbasan pantas, pendedahan sinaran yang lebih rendah dan medan pandangan kecil (FOV). Selain itu, data CBCT boleh dipindahkan ke dalam perisian penambah imej pihak ketiga seperti Mimics (Materialise NV, Belgium) dan 3-Matics (Materialise NV, Belgium) untuk analisis volumetrik 3D. Baru-baru ini, pengimejan resonans magnetik juga telah digunakan untuk menilai perkembangan gigi molar ketiga dan sistem pementasan pematangan khusus molar ketiga juga telah dibangunkan.\n\u00a0\nPenulis ialah pensyarah pergigian dan pakar anatomi di Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia." "Kalendar Astronomi 2022 Rujukan Keluarga Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Dalam usaha menyemarakkan lagi agenda untuk merakyatkan sains dan menginsankan teknologi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Planetarium Negara telah mengambil inisiatif untuk menyediakan maklumat mengenai peristiwa penting astronomi sepanjang tahun ini. Maklumat tersebut telah didokumentasikan sebagai Kalendar Astronomi 2022, MOSTI.\nKalendar Astronomi 2022 ini boleh dijadikan sebagai bahan rujukan dan garis panduan kepada orang ramai dan peminat astronomi untuk mencerap, memerhati dan menyaksikan fenomena unik yang bakal berlaku sepanjang tahun 2022. Kalendar ini menunjukkan peristiwa mengikut waktu piawai dan tarikh berlakunya sesuatu fenomena astronomi bukan sahaja di langit Malaysia, malah di seluruh dunia melalui grafik ringkas yang mudah difahami.\nMenurut Menteri MOSTI, Yang Berhormat Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba, setiap ahli Keluarga Malaysia boleh merujuk Kalendar Astronomi 2022 untuk mengatur dan merancang program keluarga bagi membolehkan ahli keluarga masing-masing mengikuti serta menikmati fenomena cakerawala yang berlaku. Bagi pihak sekolah pula, perancangan program yang bersesuaian pada peringkat bilik darjah atau sekolah boleh dilaksanakan dalam usaha untuk membolehkan para pelajar melihat fenomena sebenar sebagaimana yang dipelajari dalam buku teks.\nBukan itu sahaja, pihak sekolah juga boleh mengatur sesi lawatan para pelajar ke mana-mana pusat pendidikan tidak formal dalam bidang astronomi yang berdekatan. Kalendar ini juga boleh digunakan oleh para pelajar institut pengajian tinggi bagi meningkatkan minat dalam bidang astronomi dan seterusnya mencipta bakat dalam bidang ini.\nDi samping itu, sesi pencerapan, forum, ceramah, atau taklimat awam boleh dilaksanakan dengan menjemput beberapa orang tokoh astronomi pada peringkat komuniti. Para ahli akademik pula boleh membantu penyelidik untuk membuat penyelidikan yang bersesuaian semasa berlakunya fenomena astronomi tersebut dan penemuan hasil penyelidikan dari lokasi masing-masing boleh dikongsikan kepada negara.\nData yang dikeluarkan dalam Kalendar Astronomi 2022 telah disemak dan disahkan dengan merujuk sumber data yang sahih dan berwibawa oleh beberapa pihak seperti Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan Amerika Syarikat. Perbezaan kecil dalam data seperti masa berlakunya fenomena berkemungkinan disebabkan oleh perbezaan kejituan perisian yang digunakan.\nInisiatif penerbitan kalendar ini adalah selaras dengan Teras Strategik ke-5 Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara, iaitu \u201cMenggalak dan Memupuk Kesedaran Sains, Teknologi dan Inovasi\u201d dalam kalangan masyarakat.\u00a0 MOSTI melalui Planetarium Negara juga akan menyediakan siaran langsung atau liputan khas bagi setiap fenomena yang berlaku melalui laman media sosial masing-masing. Kalendar Astronomi 2022 boleh dimuat turun melalui laman web Planetarium Negara, www.planetariumnegara.gov.my dan diharapkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh Keluarga Malaysia bagi menambah pengetahuan, pendidikan, minat, bakat, kesedaran, dan seterusnya mencipta manfaat dari segi ekonomi.\n(Sumber: Facebook MOSTI)" "Ketersediaan Teknologi Bekerja dari Rumah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\nIstilah bekerja dari rumah (BDR) menjadi amat popular di seluruh dunia sejak bermulanya pandemik COVID-19 yang melanda pada tahun 2020. BDR bermaksud pekerja boleh berada di rumah untuk menjalankan tugas dan tidak perlu hadir ke tempat bekerja. Dasar BDR telah diamalkan oleh kebanyakan organisasi, sama ada kerajaan atau swasta bagi mencegah penularan wabak COVID-19. Kini, kebanyakan pekerja sudah mula beradaptasi dengan norma baharu tersebut dan bersedia melaksanakan tugasan dari rumah dengan mempelajari teknologi baharu.\nBagi sesetengah pekerjaan yang tidak memerlukan kehadiran pekerja di tempat bekerja, terdapat beberapa impak positif yang terhasil daripada pengamalan BDR. Pekerja telah mula memiliki peralatan atau gajet bagi keperluan BDR seperti komputer, komputer riba, tablet, kamera web, mikrofon dan pembesar suara bagi keperluan sidang video atau mesyuarat secara dalam talian. Pelbagai jaringan Internet daripada syarikat pembekal perkhidmatan seperti Telekom Malaysia, Celcom, Maxis dan DiGi sudah mula dilanggan bagi mendapatkan liputan yang terbaik. Pekerja juga mula mempelajari teknologi baharu dan terkini supaya menjadi lebih mahir untuk memudahkan tugasan.\nNamun demikian, dalam kerancakan penggunaan pelbagai teknologi maklumat dan komunikasi untuk pelaksanaan BDR, terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada kejayaan dan kegagalan BDR. Antaranya termasuklah faktor teknologi dan kemahiran pekerja yang boleh mempengaruhi kemudahan dan pelaksanaan BDR. Misalnya, kestabilan jaringan Internet, kepekaan pekerja terhadap ciri-ciri keselamatan penggunaan internet dan penggunaan sistem pengoperasian yang terkini perlu dititikberatkan bagi membolehkan seseorang pekerja itu lebih efektif dan produktif.\nKestabilan Jaringan Internet\nJaringan Internet merujuk rangkaian capaian Internet atau sambungan internet dalam sesuatu kawasan. Melalui sambungan ini, peranti dapat berhubungan dengan peranti lain dalam rangkaian setempat mahupun rangkaian global. Rangkaian sambungan ini membenarkan komunikasi antara dua peranti dan juga antara peranti kepada pelayan yang membolehkan perkhidmatan mel elektronik, sidang video, pemindahan fail, pelayaran Internet dan media sosial.\nTerdapat banyak manfaat yang boleh diperoleh daripada jaringan Internet yang sangat maju dan laju. Antaranya ialah kemudahan ini mempermudah dalam penyampaian maklumat secara global serta memudahkan penstriman data seperti sidang video, Facebook langsung serta penyimpanan data dan pemindahan fail pada komputer lain. Malaysia merupakan negara yang mempunyai kadar penembusan yang paling tinggi, iaitu sebanyak 88.7 peratus. Menurut kajian oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada tahun 2020, secara puratanya kelajuan Internet di Malaysia ialah sebanyak 24.44 megabait sesaat (MBps), sama ada melalui jalur lebar talian tetap atau jalur lebar mudah alih yang disokong oleh teknologi 4G. Kelajuan tersebut sudah memadai untuk membolehkan kerja dilakukan di rumah apabila kehadiran pekerja ke pejabat dihadkan kepada bilangan tertentu.\nDua akses utama untuk mendapatkan capaian Internet di negara ini adalah dengan perkhidmatan jalur lebar talian tetap dan Internet mudah alih 4G. Kedua-dua perkhidmatan ini telah mencapai hampir 80 peratus kawasan liputan. Perkhidmatan jalur lebar yang dibekalkan adalah melalui penggunaan gentian optik yang disediakan oleh pembekal perkhidmatan Internet. Dengan adanya liputan Internet yang berkelajuan tinggi, objektif BDR untuk menghasilkan output kerja yang efisien dengan produktiviti yang tinggi akan tercapai.\nPeka Notifikasi\nKeberkesanan BDR adalah bergantung kepada sejauh mana kepekaan seseorang terhadap aplikasi yang menjadi perantara antara majikan atau organisasi dengan pekerja dan juga antara penyelia dan individu yang diselia.\nAntara syarat penting kejayaan BDR ialah kepekaan pekerja terhadap sesuatu notifikasi berkaitan dengan tugasan. Aplikasi seperti komunikasi kumpulan (Microsoft Teams), sidang video dan pengurusan projek (Project Management Tools) dilihat mampu memenuhi keperluan tersebut. Keupayaan transmisi data dari satu peranti kepada satu peranti lain ataupun kepada pelayan mampu menjelmakan notifikasi secara langsung apabila terdapat isyarat tertentu. Kecepatan dan kecekapan mendapat maklum balas notifikasi adalah penting untuk menyampaikan sesuatu arahan bagi pelaksanaan suatu tugasan. Selain kecekapan peranti menyampaikan sesuatu notifikasi, pengguna sendiri juga perlulah sentiasa peka dan mengambil perhatian akan sebarang notifikasi. Sesuatu misi atau tugasan tidak akan berjaya dilaksanakan sekiranya hanya berlaku komunikasi sehala tanpa sebarang maklum balas terhadap notifikasi sesuatu arahan.\nCiri-ciri Keselamatan\nAntara cabaran utama BDR ialah keselamatan data yang mungkin berlaku menerusi ancaman siber seperti kecurian, kompromi atau serangan oleh individu yang tidak bertanggung jawab atau penjenayah siber. Pekerja yang menjalankan tugas secara BDR mestilah celik komputer dan mempunyai kemahiran berkaitan teknologi maklumat. Kealpaan orang ramai terhadap keselamatan data digital mampu membuka ruang baharu ancaman virus komputer seperti perisian tebusan kepada data dan maklumat digital. Pada kebiasaannya, terdapat individu atau unit yang bertanggungjawab menjaga keselamatan siber di tempat kerja. Namun demikian, apabila bekerja dari rumah, tanggungjawab keselamatan siber terletak sepenuhnya pada pengguna komputer peribadi itu sendiri. Langkah keselamatan yang boleh diambil untuk individu yang BDR adalah seperti yang berikut:\nSebagai kesimpulannya, masyarakat kini telah beradaptasi dengan perkembangan teknologi BDR. Pelbagai maklumat berkenaan teknologi BDR boleh diperoleh sama ada melalui rakan setugas ataupun melayari Internet. Walau bagaimanapun, disiplin diri amat penting bagi memastikan kaedah BDR dapat diaplikasikan sepenuhnya tanpa adanya masa terluang yang boleh menjejaskan produktiviti kerja.\nDengan adanya inisiatif kerajaan memperkenalkan liputan 5G dan pembangunan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), tahap kesalinghubungan dan kualiti perkhidmatan komunikasi dapat ditingkatkan di Malaysia. Melalui JENDELA, kualiti perkhidmatan jalur lebar akan dipertingkatkan melalui inisiatif tertentu ke arah teknologi 5G. Perubahan cara kerja baharu dengan liputan internet yang lebih luas dan kelajuan optimum sekali gus menjadi anjakan paradigma dalam menjalankan tugas dari rumah tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan dan prestasi kerja pekerja." "Bakteria sebagai Adiwira Iklim\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam setiap ekosistem, pelbagai komuniti mikrob saling bekerjasama dan setiap spesies memainkan peranan yang berbeza. Komuniti mikrob mengitar semula nitrogen dan fosforus, melenyapkan pencemaran racun makhluk perosak dan tumpahan minyak, memperbaik kualiti air, meningkatkan produktiviti pertanian dengan merangsang pengambilan nutrien daripada tumbuhan, dan mengawal makhluk perosak.\nMenurut pakar mikrobiologi di University of Massachusetts, Amherst, Profesor Kristen DeAngelis menerusi kajian beliau yang diterbitkan pada bulan November 2021 dalam ISME Communications, komuniti mikrob ada di sekeliling masyarakat dan wujud dalam setiap benda hidup ataupun mati.\nMalangnya, pengetahuan manusia tentang mikrob atau mikroorganisma terlalu sedikit. Kajian tentang mikroorganisma atau mikrobiologi bermula sejak tahun 1675 yang dimulakan oleh Antonie van Leeuwenhoek dengan menggunakan mikroskop ciptaannya. Mikroorganisma termasuklah bakteria, fungus atau kulat, tumbuhan mikroskopik (alga hijau), plankton, dan ameba.\nBagaimanakah pula dengan virus? Adakah virus termasuk dalam kategori mikroorganisma? Ada sebahagian daripada ahli mikrobiologi mengatakan bahawa virus termasuk dalam kategori mikroorganisma, namun begitu ada juga ahli mikrobiologi yang tidak bersetuju kerana virus ini bukan hidupan. Kebanyakan mikroorganisma merupakan sel tunggal, malah ada juga yang mempunyai multiselular seperti mikroskopik. Beberapa spesies protista dan bakteria seperti Thiomargarita namibiensis ialah makroskopik.\nApabila dunia dilanda pandemik, semua orang takut dengan virus. Seolah-olah semua yang namanya virus itu jahat dan akan mendatangkan penyakit kepada manusia. Untuk makluman, di lautan terdapat lebih satu nonilion virus. Kebanyakan virus di lautan adalah pembunuh mikrob yang boleh menjangkiti semua hidupan laut daripada sekecil-kecil bakteria hinggalah hidupan laut yang paling besar seperti ikan paus. Namun begitu, disebabkan oleh bilangan bakteria paling banyak di lautan, iaitu satu juta per mililiter air laut telah menjadikannya paling dominan sebagai perumah virus. Dalam masa sesaat sahaja, sebanyak\u00a01023 virus baharu dihasilkan dan membebaskan 140 gigatan karbon setiap tahun.\nWalau bagaimanapun, virus tetap memainkan peranan penting terhadap keseimbangan ekosistem laut. Virus merupakan jaringan sumber makanan mikrob dan membantu mengawal jumlah bakteria. Dianggarkan sebanyak 20 peratus mikrob telah mati dibunuh oleh virus setiap hari. Selain itu, virus juga mewujudkan kepelbagaian bakteria dan alga. Sampingan daripada proses tersebut, sel bakteria dan alga yang pecah menghasilkan bahan baharu yang menjadi sumber nutrien kepada mikroorganisma untuk membesar.\nSementara itu, mikroorganisma pula menjadi sumber makanan kepada zooplankton dan ikan. Zooplankton dan ikan ini dimakan oleh ikan paus, jerung dan manusia. Melalui cara inilah virus mikroskopik mengitar semula bahan yang diperlukan oleh hidupan lain untuk terus berkembang.\nPenyelidik dari Vienna University of Technology menggelarkan bakteria sebagai hero iklim. Aktiviti bakteria telah memberikan kesan terhadap atmosfera, terutamanya dalam kitaran karbon. Tadahan terbesar yang menyimpan karbon dengan baik di bumi ialah tanah.\nWalau bagaimanapun, peningkatan suhu bumi yang berterusan akan membebaskan sebahagian karbon tanah menjadi gas karbon dioksida dan menyebabkan bumi menjadi semakin panas. Hal ini membimbangkan para penyelidik. Kebimbangan itu berdasarkan kepada teori, namun begitu realitinya tidak begitu. Terdapat bakteria di dalam tanah yang mengawal karbon agar tidak terlepas daripada menjadi gas karbon dioksida ke atmosfera bumi. Bakteria ini tidak dapat dilihat dengan menggunakan mata kasar, tetapi mampu menjana kehidupan utama di bumi dan menyeimbangkan ekosistem.\nBakteria menukarkan biojisim tumbuh-tumbuhan kepada bahan organik tanah sebagai penyubur tanah dan mampu menyimpan tiga kali ganda karbon berbanding dengan atmosfera. Dengan cara ini, bakteria dapat mengawal seberapa banyak jumlah karbon yang boleh dilepaskan ke atmosfera atau menyimpannya di dalam tanah demi mengekalkan tahap kesihatan bumi. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Profesor Daniel Buckley dan pasukannya di Universiti Cornell, New York, setiap tahun bakteria tanah memproses karbon sebanyak enam kali ganda lebih banyak berbanding dengan semua gabungan pelepasan antropogenik.\nProfesor Daniel Buckley telah membangunkan teknik baharu untuk mengesan mikrob dan memahami cara mikrob ini memproses karbon\u00a0 tanah. Akhirnya, dengan pengetahuan ini, para saintis telah memahami tentang kehebatan bakteria dalam \u00a0menjaga kitaran karbon yang terdapat di bumi.\nKajian yang diterbitkan dalam jurnal \u00a0Proceedings of the National Academy of Sciences pada bulan November 2021 telah memberikan gambaran bahawa untuk menangani dan meramal perubahan iklim, ilmu tentang bakteria harus didalami terlebih dahulu kerana karbon dan perubahan iklim mempunyai kaitan. Manusia harus mempunyai pengetahuan yang luas tentang bakteria untuk menjaga kelestarian, keselamatan dan kesihatan bumi.\n\u00a0\nBakteria untuk Bahan Bakar\nSektor ekonomi pada masa hadapan mestilah bersifat neutral karbon. Hidup tanpa karbon adalah mustahil kerana karbon merupakan komponen penting dalam penghasilan produk dan sumber tenaga. Sepatutnya, karbon dioksida yang dilepaskan ke atmosfera boleh dikitar semula dan kembali menjadi bentuk asal sebelum produk atau sumber tenaga lestari dihasilkan.\nItulah yang dilakukan oleh Dr. Frank Sargent, penyelidik dari Newcastle University, United Kingdom. \u00a0Beliau membangunkan kejuruteraan bakteria Escherichia coli untuk memerangkap karbon dioksida di udara dengan menggunakan gas hidrogen dan menukarkannya menjadi asid formik. Kajian ini diterbitkan dalam Applied and Environmental Microbiology pada bulan September 2021.\nSelain itu, beliau juga mengembangkan idea tersebut daripada buku tentang kewujudan kehidupan di bumi dari sudut sastera dan buku sains popular yang dibacanya. Menurut Dr. Frank Sargent, tiga juta tahun yang lalu, kandungan atmosfera banyak dengan karbon dioksida dan hidrogen, manakala oksigen tidak wujud langsung ketika itu dan kehidupan selular hanya berevolusi pada kedalaman 10 000 meter dari permukaan laut. Pada ketika itu, sebatian tersebut perlu ditukar menjadi karbohidrat kerana semua hidupan memerlukannya untuk hidup. Proses itu hanya boleh dilakukan oleh enzim. Enzim tersebut hanya terdapat dalam bakteria Escherichia coli. Penghidrogenan karbon dioksida menjadi asid organik.\nIdea eksperimen tersebut telah berjaya. Tujuan utamanya adalah untuk memerangkap sisa karbon dioksida di atmosfera dengan menggunakan gas hidrogen daripada biohidrogen menjadi asid formik. Inilah yang dinamakan sebagai kitaran bioekonomi yang cekap. Hal ini bermakna pelepasan karbon dioksida sentiasa berlaku, kemudian diperangkap oleh bakteria dan hasilnya memberikan manfaat kepada manusia. Bakteria menggunakan asid formik sebagai sumber karbon tunggal, manakala manusia menggunakannya dalam pembuatan bahan bakar lestari, plastik dan bahan kimia lain.\nSelain Escherichia coli, terdapat saintis yang menggunakan bakteria Acetobacterium woodii untuk menyerap karbon dioksida di udara, malah dibuktikan bakteria ini lebih cekap berbanding dengan bakteria lain. Kecekapannya menyebabkan hanya sedikit tenaga diperlukan untuk menukarkan karbon dioksida menjadi asid formik, kemudian ditukar menjadi asid asetik, iaitu satu daripada bahan kimia asas.\nSebenarnya, bakteria Acetobacterium woodii popular dan kajian mengenainya banyak kerana keistimewaannya dalam memetabolismekan karbon monoksida, karbon dioksida atau asid formik. Acetobacterium woodii adalah antara bakteria yang hebat kerana boleh menghasilkan tenaga yang cukup untuk membolehkannya hidup dalam keadaan ekstrem.\nHasil kajian yang dimuatkan dalam jurnal Metabolic Engineering pada bulan November 2021 telah membuktikan bahawa Acetobacterium woodii bukan sahaja boleh menukar komponen asid formik menjadi asid asetik tetapi mampu menukarkannya kepada etanol dan asid laktik. Etanol ialah bahan asas untuk menghasilkan bahan api, manakala asid laktik merupakan bahan utama bagi pembuatan plastik terbiodegradasikan. Hal ini bermakna bahan berasaskan petroleum untuk menghasilkan tenaga dan plastik boleh digantikan dengan bahan alternatif yang lebih mampan melalui kitar semula gas karbon di udara.\nSemua karbon dioksida dan karbon monoksida yang dihasilkan daripada pembakaran bahan bakar fosil dan pembuatan plastik boleh dikitar semula menjadi produk asal yang tidak berbahaya kepada alam sekitar. Oleh sebab inilah Stefan Pfl\u00fcgl menamakan bakteria sebagai hero iklim.\nSebagai kesimpulannya, tidak ada sesiapa pun yang boleh menafikan bahawa semua hidupan di bumi bergantung pada mikrob. Jika mikrob ini berada dalam keadaan bahaya, maka semua hidupan di bumi sedang terancam." "Potensi Air Pulih Guna di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBekalan air yang mampan adalah satu daripada isu utama dalam pengurusan sumber air. Walau bagaimanapun, cabaran utama pengurusan sumber air ialah memastikan kesinambungan bekalan air dengan kuantiti dan kualiti air yang mencukupi serta boleh diterima oleh pengguna. Permintaan air dalam kalangan penduduk di Malaysia agak tinggi akibat berlakunya peningkatan penduduk setiap tahun. Hal ini bersangkut-paut dengan data anggaran penduduk yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menerusi laporan Perangkaan Demografi bagi suku pertama tahun 2021 yang menyatakan bahawa jumlah penduduk Malaysia dianggarkan seramai 32.75 juta orang dengan peningkatan sebanyak 0.4 peratus daripada 32.62 juta orang dalam tempoh sama pada tahun 2020.\nKesedaran yang tinggi tentang bekalan air pada masa hadapan dalam kalangan rakyat Malaysia memainkan peranan penting dalam mengurangkan penggunaan air. Hal ini menimbulkan cabaran yang agak besar kerana masyarakat berasa selesa dan percaya bahawa negara ini mempunyai sumber air yang banyak.\nMalaysia masih amat bergantung kepada tadahan air, sekali gus menjadikan bekalan air negara amat bergantung kepada keadaan dan perubahan cuaca. Malaysia mengalami cuaca lembap sepanjang tahun dengan hujan tahunan sebanyak 80 peratus dalam setahun, iaitu antara 2000 milimeter hingga 2500 milimeter. Perubahan iklim yang berlaku mampu menjejaskan sumber air dan akan mempercepat krisis bekalan air di negara ini.\nMenurut Persatuan Air Malaysia, rakyat Malaysia menggunakan purata sebanyak 201 liter air bagi setiap orang dalam sehari yang bersamaan dengan 134 botol (dengan kapasiti 1.5 liter setiap satu botol). Kadar ini lebih tinggi daripada kadar yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, iaitu sebanyak 165 liter sehari. Sebagai perbandingan, rakyat Singapura menggunakan purata sebanyak 141 liter bagi setiap orang dalam sehari, manakala Thailand pula sebanyak 193 liter bagi setiap orang dalam sehari. Data ini menunjukkan permintaan air harian di Malaysia adalah lebih tinggi daripada negara jiran.\nPermintaan air bersih yang tinggi pada masa depan telah memaksa pihak kerajaan mencari alternatif dan amalan pengurusan terbaik dalam menguruskan sumber air. Satu daripada alternatif yang boleh dipraktikkan ialah dengan menggunakan air pulih guna yang dirawat.\nMenurut portal United States Environmental Protection Agency, penggunaan semula air atau kitar semula air boleh didefinisikan sebagai mengambil air dari pelbagai sumber, kemudiannya air tersebut dirawat terlebih dahulu dan digunakan semula untuk tujuan yang bermanfaat seperti pertanian serta pengairan dan mampu memberikan alternatif kepada bekalan air yang digunakan untuk kehidupan seharian.\nPenggunaan air pulih guna ialah pilihan yang berkesan bagi menjimatkan sumber air, mengurangkan impak kepada alam sekitar serta mengurangkan kos dan tenaga yang terlibat dalam pengurusan sumber air. Sebagai contohnya, penggunaan air kitar semula bagi tujuan selain minuman telah dilaksanakan di beberapa bandar di Jepun sejak tahun 1980, terutamanya bagi tujuan mengepam tandas dan pengairan.\nKesedaran mengenai penggunaan air pulih guna di Malaysia semakin diberi perhatian, terutamanya daripada pihak berwajib. Terdapat beberapa inisiatif yang dilancarkan bagi mendorong penggunaan air pulih guna untuk tujuan selain minuman. Sebagai contohnya, projek Bluewater yang dilancarkan di Johor Bahru pada tahun 2017 dijangka menjadi perintis kepada kitar semula air terpakai di negara ini, sekali gus mampu melindungi hutan daripada pencerobohan serta pembinaan empangan. Air yang dikitar semula itu digunakan untuk keperluan perindustrian yang memerlukan sumber bekalan air yang banyak.\nSelain itu, pada tahun 2021 telah diadakan kerjasama antara Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) dengan Air Selangor untuk membekalkan air pulih guna kepada pengguna industri di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Pihak IWK bersama-sama Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) juga membangunkan inisiatif pemulihan air sebagai sumber alternatif negara menerusi Pelan Induk Teknologi Hijau 2017-2030 untuk menggunakan kembali sebanyak 33 peratus daripada jumlah air buangan terawat untuk tujuan yang dapat memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia.\nBerdasarkan pelan dan perancangan yang dirangka, Malaysia mampu menjadikan penggunaan air pulih guna bagi tujuan selain minuman sebagai alternatif pada masa akan datang. Kejayaan penggunaan air pulih guna bergantung pada penerimaan masyarakat. Maklum balas dari masyarakat mengenai penerimaan penggunaan air pulih guna mampu membantu dalam perancangan pada masa akan datang. Namun, sejauh manakah penerimaan komuniti di Malaysia terhadap penggunaan air pulih guna?\nKajian berkaitan persepsi dan penerimaan komuniti di Malaysia terhadap penggunaan air pulih guna bagi tujuan selain minuman dalam kalangan komuniti telah dilaksanakan. Secara umumnya, kajian tersebut mendapati bahawa komuniti di Malaysia memberikan maklum balas yang positif terhadap penerimaan dan penggunaan air pulih guna bagi tujuan selain minuman. Antara pilihan penggunaan air pulih guna yang mendapat pilihan tertinggi termasuklah menyiram tanaman, pembersihan halaman rumah dan mengepam tandas.\nSementara itu, penggunaan air pulih guna bagi tujuan selain minuman dicadangkan sebagai penyelesaian jangka masa panjang bagi masalah berkaitan air dalam komuniti. Masalah gangguan bekalan air sudah menjadi masalah yang berterusan dalam kalangan masyarakat di negara ini. Peratusan penduduk yang terkesan dan terbeban akibat gangguan bekalan air juga adalah tinggi. Gangguan bekalan air boleh mempengaruhi tahap penerimaan masyarakat terhadap penggunaan air pulih guna. Hal ini disebabkan oleh penduduk yang mengalami masalah gangguan bekalan air lebih bersedia untuk menggunakan air pulih guna sebagai sumber air alternatif.\nPenggunaan air pulih guna sebagai penyelesaian jangka masa panjang mungkin mengambil masa untuk diadaptasi dalam kehidupan seharian, terutamanya untuk mandi dan mencuci pakaian. Menurut kajian, sentuhan kulit dengan air pulih guna menjadi satu daripada faktor penting dalam maklum balas masyarakat terhadap pilihan penggunaan air tersebut.\nBerdasarkan kajian tersebut, lebih 51 peratus responden beragama Islam menerima sekiranya penggunaan air pulih guna dilaksanakan. Kajian di Durban menunjukkan bahawa tiada bukti keengganan umat Islam untuk menggunakan air pulih guna berdasarkan kepercayaan agama. Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia juga memutuskan bahawa jika rawatan air itu mengembalikan rasa, warna dan bau air kepada keadaan asal, maka air tersebut suci dan tidak salah untuk menggunakannya bagi tujuan pengairan dan kegunaan lain.\nKefahaman dan kesedaran mengenai penggunaan air pulih guna bagi tujuan selain minuman dapat dipertingkatkan menggunakan teknologi terkini seiring dengan perkembangan negara yang semakin maju. Pengaruh media sosial seperti Instagram, Facebook dan TikTok mampu meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan air pulih guna terutamanya kepada golongan muda yang berumur antara 20 tahun hingga 39 tahun. Medium penerbitan seperti artikel dalam surat khabar serta majalah dan pengedaran risalah juga boleh dijadikan sebagai kaedah alternatif bagi menyedarkan kefahaman mengenai penggunaan air pulih guna." "Bangkitlah Mengisi Maruah Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTulisan Zulkifli Jalil \u201cPedulikan Si Pesimis Bahasa Melayu\u201d dalam Minda Pengarang Utusan Malaysia, 29 Mac 2022 mewakili sikap golongan yang optimis dan positif dalam menanggapi cita-cita Perdana Menteri untuk mengangkat bahasa Melayu di peringkat dunia. Golongan dedalu (\u201cparasit\u201d bagi yang sudah tidak lazim dengan kata Melayunya) yang ke arah membunuh pokok tamadun negara memang sentiasa ada dalam masyarakat. Kita abaikan sahaja \u201csi pesimis\u201d dan bergerak terus.\nMasing-masing ada hak asasi untuk mengeluarkan pandangan. Biarkanlah \u201cdedalu\u201d itu dan kita terus berusaha memenuhi cita-cita untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu. Abaikan sahaja sindiran nakal atau dangkal jangan sampai menjadi kudis. Rancang dengan rapi dan laksanakan dengan sungguh-sungguh langkah mengisi cita-cita itu.\nMasyarakat berhak diberi maklumat tentang sejarah bahasa Melayu yang pernah ratusan tahun menjadi bahasa antarabangsa, khasnya dalam zaman Kesultanan Melayu. Bukti nyata surat dan perjanjian antara kerajaan-kerajaan di alam Melayu (termasuk yang etniknya bukan Melayu) dengan kerajaan asing seperti Belanda, Portugal, Sepanyol dan Inggeris tersimpan di pelbagai pusat persuratan di dunia. Di Universiti Leiden, Belanda, Perpustakaan British di London, Perpustakaan Negara Malaysia dan perpustakaan lain, masih terpelihara surat dan perjanjian itu yang ditulis dalam Jawi. Adanya buku undang-undang seperti Undang-undang Laut Melaka turut membuktikan bahawa bahasa Melayu digunakan sebagai peraturan perdagangan dan kehidupan di kota Melaka yang kosmopolitan. Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu mencatatkan Melaka dengan penghuninya sekitar 80 kumpulan bangsa dan etnik dari pelbagai tempat, termasuklah Arab, India, China dan Parsi.\nDalam sejarah moden negara ini, bahasa Melayu bertulisan Jawi digunakan antara orang berlainan bangsa. Tersimpan surat Penguasa Polis Selangor pada tahun 1880 yang diutus kepada Kapitan Yap Ah Loy dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi. Sistem Kangcu yang diperkenalkan oleh Temenggung Daing Ibrahim Johor pada abad ke-19 untuk pengusaha ladang gambir dan lada hitam dalam kalangan orang Cina menggunakan bahasa Melayu bertulisan Jawi dalam surat watikahnya. Ertinya, bahasa Melayu telah menjadi bahasa antarabangsa.\nSarjana Belanda seperti Van Linschoten dan Fancois Valentijn dalam kajian mereka merakam taraf keantarabangsaan bahasa Melayu pada abad ke-16. Bahasa Melayu disebut sebagai bahasa yang masyhur di sebelah timur hingga Filipina dan Turki, malahan setara dengan peranan bahasa Latin dan bahasa Perancis di benua Eropah. Orang dari luar alam Melayu yang tidak menguasai bahasa Melayu dianggap sebagai orang yang tidak terpelajar.\nApabila maharaja Dinasti Ming menjalin hubungan dengan alam Melayu, khasnya dengan Melaka pada abad ke-15, bahasa Melayu digunakan sebagai perantaraan. Di istana Maharaja China, bahasa Melayu menjadi salah satu bahasa penting di jabatan jurubahasa dan juga di Akademi Latihan Jurubahasa. Sarjana Cina menyusun kamus bahasa Cina\u2013Melayu untuk kegunaan pegawai dan pedagang yang berurusan di alam Melayu. Apabila bangsa Barat sampai, salah satu usaha awal mereka ialah menyusun kamus, seperti kamus Itali\u2013Melayu, susunan Antonio Pigafetta pada tahun 1522. Erti semua itu adalah bahawa bahasa Melayu telah menjadi bahasa antarabangsa.\nOrang yang menilai sejarah sebagai kisah dahulu kala dan hanya untuk nostalgia tidak terpukau oleh fakta itu walaupun tanpa dahulu tidak mungkin ada kini. Baiklah, mari kita berbicara tentang bahasa Melayu pada zaman ini. Di seluruh dunia, ada lebih 100 institusi ilmiah yang memberikan perhatian kepada bahasa dan tamadun Melayu, baik dalam pengajaran, penyelidikan, penerbitan mahupun kegiatan. Fakta itu berdasarkan dokumen Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) yang bergerak aktif sejak tahun 2000. Dalam beberapa tulisan saya, termasuklah buku Pemartabatan Bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pun ada saya senaraikan sebahagiannya. Di Eropah, Amerika Utara, Rusia, Asia Tengah, Asia Timur, selain di Asia Tenggara terdapat institusi yang berkenaan.\nPengalaman peribadi saya sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu kerajaan Malaysia di Beijing sebanyak dua kali (2008-2011 dan 2016-2018) memberikan keyakinan yang tinggi tentang bahasa Melayu di pentas dunia. Sejak tahun 1961, bahasa Melayu telah mula diajarkan di Institut Pengajian Asing Beijing yang kemudian menjadi Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU), tempat saya diutus oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Pada tahun 2008, baru ada empat buah universiti yang menawarkan program Ijazah Bahasa Melayu selama empat tahun. Maklumat mutakhir tahun 2022 menunjukkan telah ada 15 buah institut pendidikan tinggi (IPT) di Republik Rakyat China yang menawarkan program Ijazah Bahasa Melayu. Sebuah kolej pengajian asing di Hainan membuka program Diploma Bahasa Melayu selama tiga tahun. Di beberapa buah universiti, bahasa Melayu diperkenalkan sebagai kuliah elektif.\nSepanjang saya bertugas di sana, tidak kurang daripada lima persidangan antarabangsa tentang bahasa, sastera, budaya Melayu dan terjemahan Melayu\u2013China telah dianjurkan. Untuk kali pertama, Sayembara Deklamasi Sajak bagi IPT seluruh negara itu diadakan pada tahun 2017. Beberapa orang pelajar jurusan Bahasa Melayu di sana telah menjadi johan dan naib johan Pertandingan Antarabangsa Pidato Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri Malaysia (PABM). Persembahan lagu, tarian, dikir barat dan seni budaya Melayu yang lain tidak asing kepada mereka. Program pertukaran pelajar dan program pemukiman pelajar jurusan Bahasa Melayu di universiti di Malaysia seperti Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia berterusan sejak tahun 2007.\nSelain universiti, badan penyiaran Bahagian Bahasa Melayu Radio China Antarabangsa (kini Kumpulan Media China) turut memainkan peranan yang penting dalam pengembangan bahasa Melayu. Siaran radio, portal, terbitan dan program kembara anjuran badan itu turut menyemarakkan bahasa Melayu di negara laluan sutera itu. Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, khasnya melalui Jabatan Pendidikan Malaysia di Beijing aktif mengadakan kelas Bahasa Melayu pada hujung minggu untuk anak-anak warganegara Malaysia di kota itu, Konsul Jeneral Malaysia di kota Guangzhou melaksanakan program yang sama. Di Beijing, saya melatih pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian Mandarin untuk menjadi guru Bahasa Melayu itu.\nDi kaki bukit ke Tembok Besar China dan di gedung beli-belah awam di Beijing sudah menjadi hal yang biasa pelancong Malaysia mendengar peniaga berbahasa Melayu untuk menarik perhatian pelanggan. Malah di sesetengah masjid di Beijing (di Hong Kong juga), bahasa Melayu digunakan pada papan tanda atau tempat tertentu. Pelancong Malaysia biasanya dipandu oleh pemandu pelancong yang berbahasa Melayu dan malah mengingatkan mereka di masjid mana dapat dilakukan solat jamak qasar.\nHal lain yang membanggakan ialah kajian perbandingan yang dilakukan oleh sarjana di negara itu yang berkaitan dengan Malaysia dan Alam Melayu. Pada tahun 2009, saya diundang berceramah oleh Universiti Pengajian Asing Guangdong di kota Guangzhou. Saya berkenalan dengan seorang profesor kanan berusia 80-an, Prof. Xu Younian. Saya terkejut apabila diberi hadiah buku beliau tentang kajian perbandingan antara pantun dengan lagu rakyat China. Muridnya, Prof. Tan Xiao yang kini Dekan Fakulti Pengajian Asing universiti itu melanjutkan kajian perbandingan antara pantun dengan Xintianyou, juga lagu rakyat China.\nKajian lain yang menarik ialah perbandingan antara wayang kulit di Alam Melayu dengan di China oleh Prof. Madya Dr. Shao Ying (nama Melayunya, Adibah). Prof. Dr. Su Ying Ying (Suria), Prof. Madya Shao Ying, En. Chao Dan (Tuah) dan beberapa yang lain mengkaji perbandingan bahasa Melayu dan bahasa Mandarin. Pelajar sarjana saya, Lian Yan (Laila) mengkaji perbandingan pantang larang Melayu dan China. Seorang pelajar doktor falsafah saya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari China kini mengkaji perbandingan antara masyarakat Islam di Malaysia dengan masyarakat Islam di China, khasnya di Pulau Hainan.\nDalam bidang penerbitan, DBP, Persatuan Perspektif Institut Kebudayaan Han Malaysia bekerjasama menerbitkan terjemahan karya agung seperti Hikayat Tiga Negara, Hikayat Air dan yang lain, sementara di Universiti Peking, misalnya diterjemahkan Hikayat Hang Tuah. Dalam perancangan antara DBP dengan pihak penerbit di negara itu, tersenarai 100 judul buku sastera dan ilmu dalam bahasa Melayu yang akan diterjemahkan dan diterbitkan di sana dan 100 judul buku sastera dan ilmu dalam bahasa Mandarin yang diterjemahkan dan diterbitkan di Malaysia. Universiti Sains Malaysia terkehadapan dalam usaha terjemahan Melayu\u2013China dan China\u2013Melayu.\nUntuk pengembangan bahasa Melayu dengan lebih terancang, telah ditubuhkan Urus Setia Tetap Pengembangan Bahasa Melayu di China pada 1 Januari 2019, yang melibatkan 16 buah IPT di negara itu sebagai anggota. Penulis, Prof. Wu Zong Yu (Pengarah Pusat Pengajian Melayu BFSU) dan Haji Aziz How (Pengarah Jabatan Pendidikan Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing) dilantik menjadi penasihat.\nDemikian sekilas pandang semaraknya bahasa Melayu di Republik Rakyat China. Di Jepun, Universiti Pengajian Asing Tokyo (TUFS) menawarkan program ijazah empat tahun. SN Dato\u2019 Dr. Anwar Ridhwan\u00a0 pernah dilantik menjadi Profesor di situ. Puan Faridah Mohamad, pensyarah Bahasa Melayu di TUFS telah berkuliah bahasa Melayu lebih 20 tahun bersama-sama sarjana berbangsa Jepun. Kira-kira 10 buah universiti lain di negara itu menawarkan bahasa Melayu sebagai kursus. Di Korea Selatan, dalam tinjauan saya pada tahun 2004, terdapat dua buah universiti yang menawarkan program ijazah Bahasa Melayu, iaitu Universiti Pengajian Asing Hankuk di Seoul dan Universiti Pengajian Asing Busan di kota Busan di bahagian selatan. Ada universiti lain seperti Universiti Woosong yang menawarkan kursus Bahasa Melayu.\nDi Eropah, antara universiti yang terkenal dengan bidang pengajian Melayu termasuklah Universiti Leiden di Belanda, Universiti Goethe Frankfurt dan Universiti Hamburg di Jerman, dan Universiti London (khasnya di Sekolah Pengajian Ketimuran dan Afrika atau SOAS).\nBenar bahawa bahasa Melayu di dunia kini lebih sebagai bidang pengajian. Namun begitu, anjakan peranan yang lebih meluas tentu dapat dirancang dan dimulakan dalam bidang diplomasi, perdagangan dan bidang lain. Rancangan Diplomasi Kebudayaan yang dilancarkan oleh Kementerian Luar Negara di bawah pimpinan menterinya, Dato\u2019 Saifuddin Abdullah turut memasukkan rancangan meluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan antarabangsa, termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Permulaan yang baik dilakukan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato\u2019 Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada tahun lalu dengan berucap dalam bahasa Melayu di forum perubahan iklim PBB di Glasgow.\nKementerian Pengajian Tinggi mengambil langkah segera apabila menubuhkan Urus Setia Induk Pengembangan Bahasa Melayu di IPT Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dengan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), dengan UKM sebagai terajunya. Pada bulan Mei 2022, dirancang diadakan sidang meja bulat IPT ASEAN di Kuala Lumpur untuk menyusun rancangan kerjasama dalam bidang pengajian, penyelidikan, penerbitan, portal dan kegiatan. Arahan Perdana Menteri agar pelajar negara luar negara diwajibkan mengikuti kursus Bahasa Melayu perlu disegerakan bagi IPT yang belum melaksanakannya. Akta Pendidikan 1996 dan Akta Pendidikan Swasta 1996 telah menetapkan kursus wajib Bahasa Melayu, Kenegaraan Malaysia dan Agama/Moral. Tidak perlu ditunggu masa 20 tahun lebih untuk melaksanakan ketetapan dalam akta itu.\nHasrat Perdana Menteri untuk meluaskan penggunaan bahasa Melayu di pentas dunia nescaya tidak mudah tetapi tentu tidak mustahil. Perancangan yang rapi dan pelaksanaan yang bersungguh-sungguh oleh semua pihak dapat menjadikan hasrat Perdana Menteri itu satu kenyataan. Mesti ada keyakinan dan kesetiaan penjawat awam dan semua pihak lain. Jangan ada Pegawai Diplomat Malaysia yang bersikap sinis, negatif dan menjadi gunting dalam lipatan. Jangan ada penjawat awam yang terus dalam kepompong kepercayaan bahawa bahasa Melayu tidak mampu menjadi bahasa antarabangsa. Di Universiti Goethe Frankfurt pada tahun 2009 diadakan persidangan tentang perdagangan antarabangsa sebagaimana yang diperikan dalam manuskrip Melayu lama.\nHanya yang berjiwa besar akan mencapai kejayaan. Yang berjiwa kecil dan lemah serta berminda terjajah tidak dapat membantu negara melangkah ke hadapan." "Perlis Perlu Pergiat Usaha Penanaman Pokok Bakau \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBeseri \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa usaha penanaman pohon bakau hendaklah dikekalkan malah dipergiat terutamanya di persisiran pantai negeri Perlis.\nDalam titahnya juga, baginda menekankan selain mencegah hakisan pantai, penanaman pokok bakau juga penting dalam menjaga keseimbangan ekosistem di persisiran pantai.\n\u201cPokok bakau berperanan dalam membekalkan nutrien kepada tumbuhan dan menjadi sumber makanan kepada hidupan akuatik. Hal ini menjadikan kawasan hutan bakau menjadi aset penting kepada para nelayan, khususnya di Perlis,\u201d titah baginda.\nDi Malaysia, keluasan hutan paya bakau laut dianggarkan lebih kurang 117 786 hektar yang menjadi habitat utama pokok bakau. Sementara itu, di Perlis sendiri, terdapat beberapa kawasan hutan paya bakau yang boleh dijadikan sebagai pusat pembelajaran serta penyelidikan dan pusat pembiakan hidupan marin semula jadi selain menjadi tarikan ekopelancongan, terutamanya di pesisir pantai Kuala Perlis hingga ke Sanglang.\nDalam usaha itu, baginda mengingatkan supaya usaha pemuliharaan dan penyelenggaraan tanaman pokok bakau giat dilakukan serta memastikan spesies pokok yang ditanam bersesuaian. Baginda juga menekankan bahawa sebarang penerokaan kawasan pokok bakau secara berleluasa dan tidak terkawal akan menjadikan ekosistem paya bakau terancam dan menyebabkan kemusnahan.\nTitah DYTM Raja Muda Perlis ini disampaikan selepas baginda berkenan menyertai Program Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan ke-12 bagi Tahun 2022 dan menyempurnakan simbolik perasmian perniagaan Bakery Roti yang diusahakan oleh Encik Mohamad Izar Mohamad Zain dan isteri di Batu 12, Jalan Kaki Bukit. Encik Mohamad Izar Mohamad Zain sebelum itu menerima peruntukan sumbangan sosioekonomi asnaf bernilai RM2800 untuk membeli peralatan bengkel masakan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM).\nDalam program kayuhan tersebut juga, baginda berkenan meninjau perusahaan telur itik premium di Kampung Bilal Udoh dan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs dalam bentuk wang tunai sebanyak RM700, beras dan bekalan makanan mentah kepada tiga orang asnaf terpilih, iaitu Sepiah Sulaiman, 78 tahun; Supiah Noh, 67 tahun; dan Noorzarina Darus, 52 tahun." "Memahami Aspek Ketidaksamaan dalam Penjagaan Kanser di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Institut Kanser Negara (IKN) dengan kerjasama Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menganjurkan forum yang bertajuk \u201cMemahami Aspek Ketidaksamaan dalam Penjagaan Kanser di Malaysia\u201d pada 17 Februari 2022 di Auditorium, IKN. Forum yang diadakan bersempena dengan Majlis Perasmian dan Simposium Sambutan Hari Kanser Sedunia 2022 disiarkan secara langsung melalui laman media sosial rasmi Facebook IKN dan KKM-Portal MyHealth.\nMenurut Puan Zuraini Kamal selaku Pengasas Cancer Survivors Malaysia (CSM), sebelum ini, iaitu kira-kira 10 tahun lepas, belum terdapat kumpulan sokongan yang khusus kepada pesakit kanser dan beliau menubuhkan SCM dalam usaha memberi sokongan kepada pesakit kanser di Malaysia. Beliau turut mencadangkan tabung kebajikan pesakit diwujudkan bagi membantu pesakit kanser meneruskan rawatan.\nSementara itu, Dr. Hasriza Hasim, iaitu Ketua Jabatan Perubatan Paliatif dan Rawatan Sokongan, IKN berkata perkhidmatan sokongan kepada pesakit kanser meliputi penjagaan paliatif.\nPenjagaan paliatif ialah pendekatan melalui rawatan holistik untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit yang menghidap penyakit yang mengancam nyawa seperti kanser. Di Malaysia, terdapat kira-kira 13 buah hospital kerajaan, 39 buah klinik kesihatan dan 30 pasukan Persatuan Hospis yang menyediakan perkhidmatan paliatif.\nMenurut Datuk Dr. Kuljit Singh, iaitu Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, saringan awal kanser boleh dilakukan di hospital swasta dengan kadar yang berpatutan. Beliau turut berkongsi maklumat bahawa sesetengah hospital swasta juga mempunyai memorandum persefahaman dengan hospital kerajaan dalam memberikan rawatan kepada pesakit kanser.\nPuan Chan Li Jin @ Ahaddaniah, iaitu Pengarah Eksekutif PhAMA, membincangkan berkenaan kos rawatan kanser. Beliau memaklumkan bahawa masyarakat perlu menilai serta menjangkakan risiko sesuatu penyakit ke atas diri masing-masing. Saringan awal juga boleh membantu mengurangkan kos kewangan yang jauh lebih murah berbanding dengan kos rawatan.\nForum yang dimudahcarakan oleh Prof. Dr. Mazanah Muhamad, Pengerusi Persatuan Kanser (KanWork) mencadangkan bahawa forum seperti ini perlu diadakan secara berkala.\n\u201cMelalui forum seperti ini, masyarakat boleh mengetahui berkaitan penyakit kanser dengan lebih mendalam dan membolehkan cabaran yang dihidapi oleh pesakit kanser dapat dibincangkan dan diselesaikan\u201d, tambahnya lagi." "Keselamatan Berbasikal pada Musim Pandemik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPenularan pandemik COVID-19 telah mencorak semula pergerakan, terutamanya dalam kawasan bandar dengan pelbagai cara. Hal ini dapat dilihat dengan penggunaan basikal yang semakin meningkat bagi tujuan perjalanan, beriadah atau berseronok. Basikal di jalan raya ialah kenderaan yang mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama seperti kenderaan bermotor. Namun demikian, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia melaporkan bahawa sebanyak 54 kematian, 18 orang cedera parah dan 63 orang cedera ringan akibat kemalangan membabitkan penunggang basikal. Oleh itu, inisiatif keselamatan perlulah ditumpukan untuk menggalakkan pilihan lebih selamat oleh penunggang basikal dan pemandu dalam mengurangkan kadar kecelakaan di jalan raya, terutamanya pada musim pandemik ini.\nLangkah yang pertama ialah memastikan basikal yang ditunggang telah diselenggara dan berada dalam keadaan yang selamat untuk digunakan. Beberapa peralatan keselamatan khususnya seperti brek dan loceng berada dalam keadaan baik. Institut Insurans bagi Keselamatan Lebuh Raya Amerika Syarikat melaporkan bahawa sebahagian besar kematian penunggang basikal adalah disebabkan oleh kecederaan parah di kepala. Hal ini menunjukkan kepentingan memakai topi keledar basikal. Penggunaan topi keledar dianggarkan dapat mengurangkan kemungkinan untuk mendapat kecederaan kepala sebanyak 50 peratus dan kecederaan muka atau leher sebanyak 33 peratus. Topi keledar juga disarankan untuk ditukar ganti bagi setiap lima tahun untuk tujuan keselamatan.\nPenunggang basikal juga haruslah menggunakan lampu depan dan belakang, walaupun pada waktu siang. Lampu ini memastikan penunggang basikal akan lebih kelihatan pada waktu siang. Lampu putih kelip menghala ke depan akan memudahkan penunggang basikal dilihat oleh kenderaan dari hadapan. Lampu merah kelip belakang pula akan memudahkan penunggang basikal dilihat oleh kenderaan dari belakang. Walau bagaimanapun, penunggang basikal harus mengandaikan yang pemandu kenderaan tidak akan melihat dengan jelas sekalipun dengan penggunaan lampu strob. Jika perlu berbasikal sebelum matahari terbit atau terbenam, penunggang basikal disarankan menggunakan lampu berkuasa tinggi untuk menyuluh jalan.\nDi samping itu, penunggang basikal juga perlu memastikan warna pakaian yang dipakai semasa berbasikal mudah dilihat dan terang seperti kuning terang, merah, jingga atau jaket atau ves berwarna biru. Penunggang basikal harus mengelak dari memakai pakaian berwarna hitam atau kelabu yang sukar dilihat atau tidak kelihatan di bawah bayang-bayang. Sesetengah pakaian berbasikal juga mempunyai jalur pantulan. Perkara yang penting dalam pemilihan warna pemakaian ialah dapat dilihat dengan jelas dan dibezakan daripada persekitaran semasa menunggang basikal.\nPenunggang basikal juga boleh memakai kaca mata keselamatan bagi melindungi mata daripada debu, puing dan silau matahari atau memakai kaca mata hitam yang dijual khusus untuk berbasikal. Kanta kaca mata yang jernih atau tidak berwarna sesuai digunakan ketika hujan kerana akan melindungi mata penunggang basikal dan tidak terlalu gelap. Terdapat juga cermin mata yang kantanya boleh ditukar supaya sesuai digunakan menurut keadaan. Penunggang basikal juga boleh menempah kanta preskripsi bagi tujuan ini.\nPenggunaan sarung tangan yang baik dapat memenuhi beberapa tujuan kepada penunggang basikal. Sarung tangan dapat membantu penunggang basikal memegang hendal dengan lebih baik, terutamanya apabila berpeluh atau berbasikal semasa hari hujan. Sekiranya penunggang basikal terjatuh, sarung tangan akan melindungi tapak tangan dan mengurangkan dampak pada tapak tangan ketika terjatuh. Sarung tangan juga dapat mengurangkan tekanan daripada tapak tangan dan mencegah pembentukan lepuh.\nKeselamatan semasa berbasikal bukanlah sekadar memakai peralatan pelindung, namun turut melibatkan cara penunggang basikal berinteraksi dengan pemandu motokar, pejalan kaki dan penunggang basikal lain. Penunggang basikal perlu mematuhi undang-undang lalu lintas, papan tanda jalan, isyarat dan tanda jalan raya. Penunggang basikal hendakla berbasikal di lorong basikal (jika ada), berkedudukan paling kiri dan dalam arah yang sama dengan lalu lintas apabila menunggang di jalan raya. Melanggar papan tanda berhenti dan peranti kawalan lalu lintas lain boleh membahayakan diri sendiri dan penunggang basikal lain, pejalan kaki dan pemandu motokar.\nSatu-satunya cara untuk penunggang basikal berinteraksi dengan pengguna lalu lintas yang lain adalah dengan menggunakan isyarat tangan. Liga Penunggang Basikal Amerika Syarikat menyatakan bahawa undang-undang menetapkan penunggang basikal perlu menggunakan isyarat tangan yang betul, yakni menyampaikan hasrat penunggang basikal untuk membelok atau berhenti. Hal ini menjadikan keadaan menjadi lebih selamat untuk semua pihak.\nPenunggang basikal disarankan untuk sentiasa menunggang dalam satu barisan walau di mana-mana sekalipun. Hal ini membolehkan kenderaan memberikan ruang tiga kaki apabila memintas tanpa perlu mengubah haluan ke dalam lorong bertentangan dan membenarkan penunggang lain memintas dengan selamat di jalan raya. Jika undang-undang bandar membenarkan aktiviti berbasikal di ruang kaki lima, penunggang basikal diingatkan bahawa menunggang secara bersaingan seramai dua orang atau tiga orang pada masa yang sama akan menyempitkan laluan pejalan kaki.\nPenunggang basikal juga perlu sentiasa peka dengan persekitaran. Kewujudan lopak, susur jalan, bahan seperti botol dan kaca, serta jeriji pembentung adalah risiko bahaya yang lebih besar kepada penunggang basikal berbanding kereta. Penunggang basikal disarankan untuk sentiasa memandang ke hadapan dan melihat cukup jauh ke hadapan supaya dapat mengelak atau berhenti cukup awal daripada melanggar bahaya tersebut. Penunggang basikal juga perlu menjangkakan bahawa seseorang mungkin membuka pintu kereta yang di parkir jalan apabila berbasikal melepasi kereta tersebut.\nPenunggang basikal perlu mengelakkan perbuatan mencelah-celah di dalam lorong menunggang. Apabila penunggang basikal perlu mengelak halangan, menunggang secara tak berperhatian dan pergerakan rawak boleh mengelirukan atau menyebabkan pemandu lain terkejut. Pemandu kenderaan mungkin akan memperlahankan kenderaan atau mengelak daripada memintas penunggang basikal. Pemandu kenderaan juga mungkin memintas secara agresif dan hal ini mendedahkan mereka, penunggang basikal dan lalu lintas lain kepada bahaya.\nPenunggang basikal juga perlu memastikan telefon bimbit dalam mod diam atau dimatikan semasa sedang dalam perjalanan atau melakukan latihan berjeda. Penunggang basikal tidak harus sama sekali menggunakan fon kepala kerana tindakan tersebut akan menyebabkan penunggang basikal tidak dapat mendengar lalu lintas. Selain itu, keadaan tersebut juga akan mengalihkan perhatian jika penunggang basikal perlu melepaskan hendal untuk menukar kekuatan bunyi, memilih lagu lain atau menerima serta menolak panggilan pada telefon bimbit.\nPenunggang basikal boleh memasang beg basikal di bawah tempat duduk atau pada rangka basikal untuk menyimpan telefon kerana hal ini akan mengelak daripada mengganggu tumpuan penunggang basikal. Hal ini dapat mencegah daripada telefon terjatuh secara tidak sengaja. Penunggang basikal juga dilarang sama sekali untuk digalakkan berbasikal jika berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah.\nKemunculan pandemik COVID-19 sebenarnya telah mencipta momentum baharu dalam kalangan masyarakat ke arah kehidupan dan persekitaran yang lebih sihat. Segala peraturan semasa berbasikal perlulah dipatuhi dengan sepenuhnya kerana setiap individu, tanpa pengecualian, berhak kembali ke rumah masing-masing dengan selamat.\n\u00a0\nProf. Madya Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff ialah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam,\u00a0Universiti Kebangsaan Malaysia.\nTs. Faridah Hanim Khairuddin ialah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia." "Manfaat Buah Bidara dalam Kaedah Perubatan Tradisional\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBidara adalah antara spesies pokok yang penting dalam kehidupan masyarakat, terutamanya orang Melayu. Buah bidara daripada pokok ini juga disebutkan dalam pantun Melayu lama seperti yang berikut:\nBuah bidara buah keranji,\nBuah kurau buah berangan;\nHilang di mata hilang berganti,\nLepas di tangan dikenang jangan.\nNasi lemak buah bidara,\nSayang selasih hamba lurutkan;\nHilang emak hilang saudara,\nKerana kasih hamba turutkan.\nNama botani bagi bidara ialah Ziziphus mauritiana daripada famili Rhammnaceae. Selain bidara, tumbuhan ini juga dikenali sebagai pokok bidara epal, bidara Siam, Chinese apple, Indian jujube, nabaq, sidr, kurma merah atau kurma Cina. Pada kebiasaaannya, pokok bidara ditanam di halaman rumah terutamanya di kawasan perumahan, di kampung dan di laman rumah pengumpul pokok herba ubat-ubatan.\nPokok bidara merupakan pokok malar hijau yang mampu mencapai ketinggian hingga 12 meter. Pokok ini mempunyai daun ringkas, berselang, tepi daun yang bergerigi dan urat daun yang menonjol. Bunganya berwarna kuning kehijauan tumbuh secara berkelompok pada tangkai daun. Buahnya pula berbentuk drup, bujur atau ovoid yang berukuran panjang dua sentimeter hingga lima sentimeter dengan lebar antara satu sentimeter hingga tiga sentimeter.\nTerdapat dua jenis pokok bidara, iaitu bidara kampung dan bidara epal. Bidara kampung mempunyai batang berduri, buah bersaiz kecil dan selalu digunakan oleh pengamal perubatan untuk rawatan secara tradisional. Bidara epal atau bidara siam pula tidak mempunyai duri pada batangnya dan menghasilkan buah yang lebih besar dan lebih rangup.\nSecara tradisionalnya, buah bidara telah lama digunakan oleh pengamal perubatan tradisional untuk rawatan wajah, iaitu digunakan sebagai topeng rawatan kulit muka atau masker. Cara penyediaannya adalah dengan menumbuk daunnya sehingga halus dan ditambahkan air. Terdapat juga kelompok masyarakat terutama orang Melayu dan orang asli di Semenanjung menggunakan buah bidara untuk merawat penyakit paru-paru, pembersihan darah dan penambahbaikan sistem penghadaman dengan mengamalkan meminum air rebusan buahnya.\nDaun bidara juga biasanya direbus untuk dijadikan losyen dan air mandian untuk rawatan demam panas. Jus daun bidara juga dilaporkan telah banyak digunakan oleh pengamal perubatan tradisional untuk rawatan organ hati dan cirit-birit.\nAkar daun bidara kebiasaannya digunakan untuk merawat epilepsi, manakala bijinya digunakan sebagai rawatan penenang jiwa dan emosi. Akar, daun dan biji bidara juga digunakan untuk merawat gangguan gastrousus. Selain itu, sifat astringen yang dimiliki oleh ketiga-tiga bahagian ini juga menjadikannya sesuai digunakan dalam rawatan cirit-birit, disentri dan ulser mulut.\nKepentingan buah atau pokok bidara juga jelas dalam kaedah perubatan Islam seperti dalam rawatan penyakit rohani atau jasmani yang melibatkan sihir, gangguan emosi dan sebagainya. Daun bidara juga digunakan dalam urusan pengurusan memandikan jenazah orang Islam yang meninggal dunia. Pokok bidara adalah antara pokok yang banyak disebut dalam al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud, yang bermaksud, \u201cMaka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan dan Kami gantikan dua kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kebun lain yang berisi pohon-pohon yang pahit buahnya, pohon yang jarang berbuah dan sedikit pohon bidara\u201c. (Surah As-Saba\u00e2\u20ac\u2122 34:16).\nKajian saintifik membuktikan bahawa bidara mengandungi mineral seperti karbohidrat, vitamin, karoten, fosforus, kalsium, zat besi, natrium, kalium, mangan, zink, tembaga, asid sitrik, asid malik, asid linoleik dan asid oksalik. Kajian juga menunjukkan bidara mengandungi sebatian fenol, flavonoid, saponin dan asam triterpenat. Bahan seperti flavonoid, fenolik, tanin dan saponin sebagai bahan antioksidan yang membantu dalam awet muda juga terkandung dalam tumbuhan ini.\nBuah bidara juga mengandungi bahan alkaloid termasuk protopina, iaitu bahan antihistamin semula jadi dan bahan anti kulat semulajadi seperti glikosida dan triterpenoid. Ekstrak daunnya telah dibuktikan boleh merencat bakteria berbahaya seperti E. coli. Kajian juga telah membuktikan bahawa ekstrak daun dan bijinya menunjukkan potensi aktiviti antibakteria dan aktiviti hiperglisemik yang mempu mengawal lebihan gula dalam darah. Ekstrak biji buah bidara didapati dapat merencat pertumbuhan sel HL-60, iaitu sel leukemia. Sehingga kini, belum terdapat kajian saintifik yang menunjukkan kesan racun pada mana-mana bahagian spesies tumbuhan ini. Keseluruhan bahagian tumbuhan ini boleh dikatakan membawa manfaat untuk penjagaan kesihatan dan perubatan.\nSelain kaya dengan pelbagai khasiat, pokok bidara juga tidak kurang cantiknya untuk dijadikan tanaman hiasan kerana mudah dijaga dan senang dibiakkan menggunakan biji benih, kaedah cantuman atau keratan batang. Tumbuhan ini juga mudah ditanam hanya di dalam pasu." "MOSTI Lancar MYStartup 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melancarkan program MYStartup sebagai usaha untuk memastikan program pembangunan syarikat pemula dilaksanakan dengan berkesan. Program yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim semalam merupakan kesinambungan Pelan Halatuju Startup Kebangsaan (SUPER) 2021 \u2013 2030 dan portal MYStartup yang telah dibangunkan sebelum ini.\n\nMenurut Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim, inisiatif MYStartup adalah bertujuan untuk memperkasakan ekosistem pemula niaga di Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM20 juta seperti yang telah diumumkan dalam Bajet 2022.\nMOSTI menyasarkan untuk mewujudkan lebih 5000 syarikat pemula niaga dan lima syarikat berstatus unikorn menjelang tahun 2025 menerusi pelaksanaan program ini.\nProgram MYStartup terdiri daripada beberapa program seperti MYHackathon 2022, MY Startup Pre-Accelator, MYStartup Intership dan MY Startup Mentorship yang bertujuan untuk memperkasakan ekosistem dan komuniti syarikat pemula di Malaysia. Setiap program ini disasarkan untuk menyokong pembangunan dan perkembangan syarikat pemula secara mampan dalam jangka masa panjang melalui pengisian yang tertumpu kepada pembangunan kapasiti dan modal insan.\nPlatform MYStartup akan menyatukan pelbagai pemain industri dan mewujudkan kerjasama supaya tidak bekerja secara solo, manakala program MYStartup pula akan memberi bimbingan secara holistik bermula di peringkat penciptaan idea, pertumbuhan, bimbingan teknikal dan sokongan pembiayaan.\n\u201cCradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) akan menguruskan ekosistem pembangunan syarikat pemula daripada fasa pemulaan sehingga pertumbuhan bagi meningkatkan daya saing syarikat pemula tempatan di peringkat antarabangsa,\u201d tambah beliau.\nInisiatif ini adalah selari dengan pelan hala tuju dan rangka tindakan berlandaskan Sains, Teknologi dan Inovasi dalam usaha mencapai status negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030 seiring dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021 \u2013 2030.\nPara syarikat pemula, pelabur, pemain dan pembina ekosistem di Malaysia digalakkan untuk mendaftar pada platform MYStartup di www.mystartup.gov.my bagi mendapatkan akses kepada cerapan dan sumber mengenai ekosistem permulaan perniagaan di Malaysia.\n(Sumber: Facebook MOSTI)" "Gempa Bumi 6.1 Skala Richter Landa Indonesia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Gempa bumi dengan magnitud 6.1 skala Richter telah melanda\u00a0 Sumatera Utara, Indonesia pada pukul 9:39 pagi ini.\nMelalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Kementerian Alam Sekitar dan Air, pusat gempa bumi tersebut terletak pada 0.2\u00b0 utara dan 100.0\u00b0 timur, iaitu 76 kilometer barat laut dari Payakumbuh, Indonesia dengan kedalaman 10 kilometer.\nGempa bumi tersebut mengakibatkan gegaran kuat yang turut dirasai di bahagian barat Semenanjung Malaysia, terutamanya di Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.\nMetMalaysia juga mengesahkan bahawa tiada ancaman tsunami dikeluarkan kepada Malaysia setakat ini." "Gangguan Bekalan Air di Klang dan Petaling\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) menerusi kenyataan media pada hari ini memaklumkan bahawa berlaku kejadian kerosakan sistem elektrikal di Rumah Pam Bukit Jelutong U8, Shah Alam pada 25 Februari 2022. Oleh itu, Air Selangor perlu menjalankan kerja-kerja kecemasan bagi pembaikan sistem elektrikal yang telah bermula pada pukul 9.30 pagi hari ini. Kerja-kerja pembaikan ini akan mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 41 kawasan di Wilayah Petaling dan Wilayah Klang.\nMenurut Air Selangor, kerja-kerja pembaikan ini dijangka akan siap sepenuhnya pada pukul 2.30 petang dan bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat kepada premis pengguna setelah kerja-kerja pembaikan siap dilaksanakan. Tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung pada lokasi dan jarak premis pengguna.\nSementara menunggu kerja pembaikan siap, bantuan alternatif melalui lori-lori tangki akan digerakkan ke kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini. Bagi memastikan air dapat disalurkan kepada masyarakat dengan lancar, Air Selangor memohon kerjasama orang ramai agar mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki.\nPihak Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan kejadian ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa. Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. Air Selangor juga ingin menggalakkan para pengguna untuk mengajukan sebarang pertanyaan atau aduan menerusi saluran komunikasi tanpa suara di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.\nKawasan yang akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ini adalah seperti yang berikut:\nWilayah Shah Alam/ Klang\n1. Seksyen 22\n2. Seksyen 26\n3. Seksyen 27\n4. Seksyen 28\n5. Seksyen 29\n6. Seksyen 30\n7. Taman Subang Mas\n8. Pinggiran Subang USJ3\n9. Kg Kebun Bunga\n10. Kg Bukit Lanchong\n11. Kemuning Utama (Seksyen 33)\n12. Bukit Kemuning (Seksyen 32)\n13. Taman Desa Kemuning\n14. Taman AMG Bt 5 Bukit Kemuning\n15. Bulatan Bt 4-8 Jalan Bukit Kemuning\n16. Taman Bukit Rimau\n17. Jalan Bukit Rimau\n18. Bandar Putra Heights\n19. Bandar Putera\n20. Bukit Naga\n21. Jalan Samarinda (Taman Mesra Indah)\n22. Desa Latania (Seksyen 36)\n23. Kg Sungai Kandis\n24. Taman Kandis Permai\n25. Taman Maznah\n26. Jalan Hulubalang\n27. Jalan Dato Abd Hamid\n28. Jalan Dato Dagang\n\u00a0\nWilayah Petaling \n1. Putra Avenue\n2. Putra Harmoni\n3. Putra Setia\n4.Subang Height\n5. Taman Perindustrian UEP (Jalan TP 7)\n6. Taman Pinggiran USJ 1\n7. Taman Pinggiran USJ 2\n8. Taman Pinggiran USJ 3\n9. USJ 3 (3A)\n10. USJ 3 (3B)\n11. USJ 3 (3C)\n12. USJ 3 (3D)\n13. USJ Height" "RM150 juta Diperuntukkan untuk Projek Pemuliharaan Sungai Setiu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSetiu \u2013 Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM150 juta bagi Projek Pemuliharaan Sungai Setiu bagi menangani masalah pemendapan, kesukaran pelayaran dan banjir di muara sungai tersebut.\nMenteri Alam Sekitar dan Air, Yang Berhormat Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, peruntukan tersebut merangkumi pembinaan struktur pemecah ombak, struktur tembok arah alir, lapis lindung, penyuburan pantai dan pengorekan alur navigasi.\nMelalui bawah Rancangan Malaysia Ke-11, sejumlah RM343 juta telah diluluskan untuk negeri Terengganu bagi melaksanakan tiga projek baharu di bawah Program Pemuliharaan Muara Sungai.\n\u201cProjek Pemuliharaan Sungai Setiu adalah satu daripada projek tersebut\u201c.\nTuan Ibrahim Tuan Man turut menjelaskan,\nKita mendengar keluhan para nelayan yang mengalami kesukaran mengemudi bot kerana muara sungai cetek akibat mendapan pasir. Mereka terpaksa menanggung kerugian harta benda, malah kehilangan nyawa akibat kemalangan. Hal ini juga memberikan kesan buruk kepada kualiti air dan mengancam kemandirian kehidupan akuatik dan aktiviti akuakultur. Kejadian banjir juga boleh berlaku disebabkan air sungai tidak mengalir lancar ke laut. Kesan berantai ini akan mempengaruhi tahap kesejahteraan sosioekonomi rakyat, negeri dan negara.\nTambah beliau, Kementerian Alam Sekitar dan Air melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia sentiasa bersedia, merancang dan melaksanakan projek yang relevan bagi menangani masalah yang berkaitan dengan pemendapan pasir dan kelodak di muara sungai.\nBeliau berkata demikian selepas melancarkan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu di Dewan Medan Ikan Bakar Kampung Mangkuk, Terengganu hari ini.\n\u201cProjek yang bermula pada bulan Januari 2022 dan dijangka siap dalam pada bulan Januari 2025 akan memudahkan nelayan, pengusaha bot, pelancong dan penduduk setempat untuk menjalankan aktiviti sosioekonomi mereka,\u201d katanya lagi.\nProjek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu ini mengekalkan kedalaman laluan navigasi sebanyak tiga meter, mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda lebih kurang 900 bot nelayan di muara Sungai Setiu, meningkatkan tahap keupayaan aliran air sungai supaya keadaan di muara sentiasa kekal terbuka dan meluaskan potensi hasilan ekonomi yang lebih besar kepada aktiviti perusahaan ternakan ikan sangkar, lokan, kepah dan kerang di lagun Setiu.\n\u201cSegala peruntukan dan pelaksanaan projek ini merupakan simbolik keprihatinan Kerajaan Persekutuan untuk mensejahterakan kualiti hidup rakyat Terengganu,\u201c katanya lagi.\nTurut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Farok Hussin Tengku Abdul Jalil; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Yang Berhormat Ir Saiful Azmi Suhaili; dan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Dato\u2019 Ir. Dr. Md. Nasir Md. Noh." "Status Pemulihan Bekalan Air di Klang dan Petaling\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan bahawa status terkini pemulihan bekalan air di Wilayah Klang dan Petaling berikutan kerja-kerja pembaikan sistem elektrikal di Rumah Pam Bukit Jelutong U8, Shah Alam mencapai 32% sehingga pukul 6.00 petang tadi. Pemulihan tersebut melibatkan bekalan air di 41 kawasan yang terjejas. Sehingga petang tadi, Wilayah Petaling mencapai 100% pemulihan manakala Wilayah Klang masih belum pulih sepenuhnya (0%).\nMenurut Air Selangor, tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung pada lokasi dan jarak premis pengguna. Bekalan air di 41 kawasan yang terjejas tersebut dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9.00 pagi, 26 Februari 2022.\nBantuan air alternatif melalui lori-lori tangki akan terus digerakkan oleh Air Selangor di kawasan yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian. Para pengguna diharap agar dapat mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki ini.\nAir Selangor menyarankan para pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian. Air Selangor berharap agar para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan dengan lancar seperti yang dijadualkan.\nPengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau menghubungi Air Selangor di talian 15300. Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor." "Ramalan Banjir di Kelantan dan Terengganu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Susulan Amaran Hujan Berterusan Waspada oleh Jabatan Meteorologi Malaysia bertarikh 25 Februari 2022 jam 12.00 tengah hari, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) meramalkan banjir akan berlaku di beberapa daerah di Kelantan dan Terengganu. Kawasan yang terlibat adalah seperti yang berikut:\n1.\u00a0 Kelantan: Bermula 25 Februari 2022 pada pukul 8.00 malam di Lembangan Sungai Kelantan melibatkan daerah Kuala Krai dan Tanah Merah serta kawasan kawasan sekitarnya yang berisiko banjir.\n2. Terengganu: Bermula 25 Februari 2022 pada pukul 2.00 petang di Lembangan Sungai Besut melibatkan daerah Besut; Lembangan Sungai Kemaman melibatkan melibatkan daerah Kemaman; Lembangan Sungai Setiu melibatkan daerah Setiu; Lembangan Sungai Terengganu melibatkan daerah Hulu Terengganu serta kawasan sekitarnya yang berisiko banjir.\nSehubungan dengan itu, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia menasihati penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka akan mengalami banjir diminta agar berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa. Penduduk boleh mendapatkan maklumat dan amaran semasa berkaitan dengannya melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, facebook: PublicInfoBanjir dan twitter @JPS_InfoBanjir.\nSumber:\nJabatan Pengairan dan Saliran Malaysia\nKementerian Alam Sekitar dan Air" "Memperkasakan Bahasa Melayu Tanggungjawab Kita Bersama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKesungguhan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob menggunakan bahasa Melayu dalam ucapan rasmi bersempena dengan lawatan beliau ke Brunei, Kemboja dan Thailand baru-baru ini amat menggembirakan pihak-pihak yang memperjuangkan pemerkasaan bahasa Melayu.\nPenggunaan bahasa Melayu dalam urusan diplomatik kerajaan dan ucapan rasmi julung-julung kalinya dilakukan oleh seorang Perdana Menteri Malaysia. Sudah pastinya hal ini menunjukkan kehendak politik (political will) beliau untuk memartabatkan bahasa Melayu di peringkat diplomatik.\nTidak dapat dinafikan bahawa penggunaan bahasa Melayu oleh pemimpin utama kerajaan menggambarkan\u00a0 perjuangan bahasa Melayu sudah matang malah berada di landasan yang betul dalam usaha menobatkan bahasa Melayu di persada antarabangsa.\nSementelah itu, Perdana Menteri juga memberikan jaminan bahawa beliau akan berusaha untuk memperhebat penggunaan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi di dalam negara dan di luar negara sekembali beliau daripada lawatan luar negara.\nSusulan pengumuman Perdana Menteri tersebut, sebuah delegasi tokoh dan pejuang bahasa Melayu yang diketuai oleh YB Tan Sri Dr. Rais Yatim, Yang diPertua Dewan Negara telah bertemu dengan beliau di Parlimen bagi menzahirkan sokongan padu terhadap usaha beliau memperkasakan dan menobatkan bahasa Melayu sebagai bahasa diplomasi.\nDalam pada itu, wujud segelintir pihak yang meluahkan rasa kejanggalan terhadap hasrat YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob untuk memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. Nampaknya, \u201cgolongan\u201d ini masih tidak memahami tentang kedudukan bahasa Melayu.\nMereka seharusnya sedar bahawa di bawah Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan, jelas terkandung peruntukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi serta bahasa kebangsaan negara. Penyata Razak 1956, Akta 1963 dan 1967 yang diluluskan oleh Parlimen turut mengukuhkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa teras dalam institusi pendidikan tempatan. Bahkan Perkara 159 (5), iaitu menguatkan, mengukuh dan memperkasakan Perkara 152 dengan peruntukan khas, iaitu tidak boleh ada sebarang pindaan terhadap Perkara 152 tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu.\nMenurut Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), usul untuk menobatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN telah lama disuarakan dalam kalangan sarjana dan persatuan bahasa dan sastera Melayu di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Filipina seawal tahun 1980-an.\nDengan mengimbas kembali sejarah, bahasa Melayu pernah menjadi bahasa lingua fanca di Nusantara sebelum kedatangan kuasa Barat lagi. Oleh itu, tidak harus timbul sebarang polemik terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa diplomasi.\nPada masa yang sama, minat terhadap bahasa Melayu dalam kalangan orang bukan Melayu juga semakin meningkat, bahkan banyak penulisan dalam bahasa Melayu dalam bentuk fiksyen dan bukan fiksyen berjaya dihasilkan oleh mereka.\nTerdapat segelintir pihak yang memperlekehkan bahasa kebangsaan sendiri yang membawa natijah yang buruk terhadap bahasa Melayu. Kajian-kajian yang dibuat menunjukkan bahawa penggunaan bahasa Melayu semakin merosot dalam kalangan pelajar institusi pendidikan tinggi, termasuklah pelajar Melayu. Mereka menganggap bahawa bahasa Melayu bukanlah bahasa sains dan teknologi dan oleh itu tidak perlu diberikan perhatian.\nDakwaan yang mengatakan bahawa bahasa Melayu bukan bahasa ilmu seperti bahasa Inggeris adalah tidak masuk akal sama sekali. Banyak negara maju yang menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing dalam semua aspek, iaitu dari pendidikan hingga ke peringkat hubungan antarabangsa. Bahkan para pemimpin negara tersebut seperti dari Perancis, Jerman, Rusia, Belanda, China, Jepun, Korea dan Arab bangga menggunakan bahasa sendiri semasa menghadiri persidangan-persidangan antarabangsa.\nMaka itu, sudah sampai masanya untuk rakyat Malaysia tidak lagi berpolemik terhadap keistimewaan dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Sebaliknya kita seharusnya menyahut dan menyokong usaha kerajaan pimpinan YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.\nSehubungan dengan itu, DBP perlu diberi kepercayaan yang lebih luas dari segi kuasa autonomi dan bantuan kewangan untuk memperkasakan bahasa Melayu. Melaluinya, DBP dapat melaksanakan program-program khas yang berkaitan dengan bahasa Melayu.\nPenghasilan buku-buku berbahasa Melayu tentang ilmu sains dan teknologi serta sejarah perjuangan rakyat berbilang kaum perlu digiatkan agar rakyat Malaysia dapat memahami dan menghayati perjuangan semua kaum dalam membina negara Malaysia, di samping mendapatkan ilmu pengetahuan.\nRakyat Malaysia dari semua peringkat tidak kira rakyat biasa, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan perlu memainkan peranan masing-masing dalam melestarikan penggunaan bahasa Melayu. Alangkah baiknya jika ahli-ahli politik terutamanya ahli parlimen yang \u00a0begitu sibuk dalam percaturan politik mengambil inisiatif untuk memperkasakan bahasa Melayu di kawasan parlimen masing-masing.\nApa-apa pun, sudah sampai masanya untuk menobatkan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi utama bagi rantau ASEAN yang memiliki hampir 300 juta orang penuturnya. Bahasa Melayu perlu dijadikan bahasa rumpun yang setanding dengan bahasa-bahasa lain.\nMarilah kita mengelakkan stigma bahasa Melayu bukan bahasa ilmu, sebaliknya menerima, menghayati dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kita sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan ideologi dan fahaman politik perlu menerima dan menghayati bahasa Melayu sebagai bahasa Keluarga Malaysia. Ayuh kita berpegang pada slogan \u201cBahasa Jiwa Bangsa\u201d!" "MET Malaysia Memantau Kejadian Gempa Bumi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Menurut Jabatan Meterologi Malaysia (MET Malaysia), Kementerian Alam Sekitar dan Air, gempa bumi susulan berikutan gempa bumi kuat bermagnitud 6.1 yang\u00a0 berlaku di Utara Sumatera, Indonesia pada pukul 9.39 pagi tadi, 25 Februari 2022 adalah sebanyak dua kali yang dikesan oleh pihaknya, manakala gempa susulan yang dikesan oleh BMKG (Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizika) Indonesia setakat jam 4.50 petang tadi, 25 Februari 2022 adalah berjumlah 27 kali.\nSehingga kini, maklumat yang diterima menunjukkan impak atau kesan adalah minimal terhadap negara daripada kejadian gempa bumi ini. Bagi memastikan keselamatan negara, MET Malaysia akan terus memantau sebarang kejadian gempa susulan yang berlaku dan memaklumkan perkembangan terkini sekiranya terdapat aktiviti seismik yang dikesan di sekitar kawasan terlibat.\nSehubungan dengan itu, untuk mendapatkan maklumat tentang gempa atau tsunami terkini, masyarakat boleh mendapatkannya melalui laman web Jabatan Meteorologi Malaysia, iaitu www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi MET Malaysia serta Hotline di talian 1-300-22-1638" "Bekalan Air di Klang dan Petaling Pulih Sepenuhnya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) melalui kenyataan media pada pagi ini memaklumkan bahawa kesemua kawasan di Wilayah Klang dan Petaling yang terjejas berikutan kerja pembaikan sistem elektrikal di Rumah Pam Bukit Jelutong U8, Shah Alam telah menerima bekalan air bersih sepenuhnya pada pukul 6.00 pagi, 26 Februari 2022.\nSehubungan dengan itu, Air Selangor mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengguna atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air yang tidak berjadual ini.\nUntuk mendapatkan maklumat rasmi tentang gangguan bekalan air, para pengguna disarankan untuk mendapatkannya menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor, iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang, www.airselangor.com. Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor menerusi talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor." "Amaran Hujan Berterusan di Semenanjung Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Jabatan Meteorologi Malaysia, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) pada pagi mengeluarkan amaran hujan berterusan di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.\nAmaran Hujan Berterusan (Bahaya) adalah melibatkan\u00a0negeri Kelantan; dan Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun) sehingga Sabtu, 26 Februari 2022. Hujan sangat lebat secara berterusan dijangka berlaku di kawasan tersebut.\nAmaran Hujan Berterusan (Buruk)\u00a0dijangka berlaku di negeri Perlis; Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik dan Baling); dan Perak (Hulu Perak) sehingga Sabtu, 26 Februari 2022.\nAmaran Hujan Berterusan (Waspada) pula dijangka berlaku di negeri Kedah (Kulim dan Bandar Baharu); Pulau Pinang; Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim); Terengganu (Kemaman); Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran dan Kuantan); Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Hulu Langat); Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; dan Wilayah Persekutuan Putrajaya sehingga Sabtu, 26 Februari 2022.\n\nSehubungan dengan itu, penduduk di kawasan yang terlibat diharap agar dapat\u00a0 mengikuti perkembangan cuaca dari semasa ke semasa dan membuat persiapan yang sepatutnya dalam menghadapi situasi tersebut. Penduduk juga dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa." "52 Kejadian Banjir di Seluruh Negara \u2013 JPS\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) melaporkan bahawa bermula 23 Februari hingga 27 Februari 2022, terdapat 52 kejadian banjir di seluruh Malaysia di tiga negeri, iaitu Terengganu, Kelantan dan Selangor. Negeri Terengganu dan Kelantan masing-masing mencatatkan 25 kejadian dan 21 kejadian banjir, manakala Selangor merekodkan enam kejadian banjir kilat dalam tempoh yang sama.\nPada 25 Februari 2022 lalu, METMalaysia meramalkan hujan berterusan (bahaya) dan JPS telah mengeluarkan dua amaran banjir bagi negeri Kelantan dan Terengganu.\nBagi tempoh 24 Februari hingga 26 Februari 2022, hujan kumulatif tertinggi direkodkan sebanyak 450 milimeter di Stesen Ladang Kerila, Tanah Merah Kelantan. Selain itu, Stesen Hujan Kampung Jenob di Tanah Merah Stesen Hujan Air Lanas di Jeli dan Stesen Hujan Rantau Panjang di Pasir Mas mencatatkan bacaan hujan masing-masing sebanyak 447 milimeter, 391 milimeter dan 383 milimeter. Kesemua bacaan ini direkodkan berdasarkan rekod hujan dengan kala ulangan purata yang dicerap adalah enam average recurrence interval (ARI) bagi tempoh tiga hari maksimum.\nSementara itu, di negeri Terengganu, hujan kumulatif tertinggi direkodkan di Stesen Hujan Kampung Embong, Hulu Terengganu, iaitu sebanyak 508 milimeter. Kala ulangan purata yang dicerap adalah tiga ARI bagi tempoh tiga hari. Selain itu, tiga stesen hujan yang turut mencatatkan bacaan hujan yang tinggi, ialah Stesen Hujan Tanjung Mentong, Hulu Terengganu sebanyak 491.5 milimeter; Stesen Hujan Yak Yah, Kemaman sebanyak 486 milimeter; dan Stesen Empangan Kenyir, Hulu Terengganu sebanyak 482 milimeter.\nSituasi semasa hujan pada hari ini sehingga pukul 10.00 pagi tadi, JPS melaporkan bahawa hujan harian maksimum tertinggi adalah di Stesen Kampung Keruak di daerah Besut dengan bacaan sebanyak 270 milimeter dan di Stesen Kampung Embong di daerah Hulu Terengganu dengan bacaan sebanyak 643 milimeter.\nMelalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh JPS pada hari ini, kawasan yang terjejas akibat banjir di negeri Kelantan dan Terengganu adalah seperti yang berikut:\nKelantan\nTerengganu \nPenduduk boleh mendapatkan maklumat dan amaran semasa berkaitan dengannya melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my dan aplikasi MyPublic Infobanjir yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple Apps Store.\nSumber: Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Kementerian Alam Sekitar dan Air." "Amaran Banjir di Negeri Terengganu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, Jabatan Pengairan dan Saliran telah mengeluarkan amaran banjir di beberapa buah daerah di negeri Terengganu yang dijangka bermula pada pukul 7.00 malam ini.\nHal ini adalah susulan daripada Amaran Hujan Berterusan (Buruk) yang dikeluarkan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) yang dikeluarkan pada pukul 12.15 tengah hari tadi. Kawasan yang terlibat adalah seperti yang berikut:\nSehubungan dengan itu, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia menasihati penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka akan mengalami banjir diminta agar berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa. Penduduk boleh mendapatkan maklumat dan amaran semasa berkaitan dengannya melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, facebook: PublicInfoBanjir dan twitter @JPS_InfoBanjir.\nSumber: Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Kementerian Alam Sekitar dan Air." "Amaran Ribut Petir dan Hujan Lebat di Semenanjung Malaysia dan Sabah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Jabatan Meterologi Malaysia telah mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia dan Sabah. Kawasan yang terlibat adalah seperti yang berikut:\n\nSumber: Jabatan Meterologi Malaysia, Kementerian Alam Sekitar dan Air." "Amaran Ribut Petir dan Hujan Lebat di 10 Negeri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Jabatan Meterologi Malaysia (METMalaysia) telah mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku di beberapa negeri hingga pukul 9.00 malam ini.\nMelalui kenyataan yang dikeluarkan pada pukul 5.15 petang ini, negeri yang terlibat ialah Kedah yang melibatkan daerah Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu; Pulau Pinang; Perak yang melibatkan kawasan Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim; Pahang di kawasan Bentong dan Bera; dan Selangor di Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat.\nSelain itu, negeri lain yang terlibat ialah Negeri Sembilan yang melibatkan kawasan Jelebu, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin; Melaka; dan Johor.\nKeadaan yang sama juga dijangka berlaku di Sarawak yang melibatkan Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu (Kanowit), Kapit (Kapit) dan Bintulu (Tatau) serta Sabah yang melibatkan Pedalaman (Tambunan), Pantai Barat, Tawau (Tawau dan Lahad Datu), Sandakan dan Kudat.\n\nOrang ramai dinasihati merujuk laman sesawang METMalaysia, media sosial dan memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat yang terkini dan sahih.\nSumber: Jabatan Meterologi Malaysia, Kementerian Alam Sekitar dan Air" "JPS Rangka Strategi Tangani Banjir di Klang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Susulan daripada pertanyaan Yang Berhormat Tuan Charles Anthony Santiago hari ini di Parlimen berkaitan dengan perancangan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam membaik pulih sistem saliran di Klang bagi mengatasi fenomena banjir, Menteri Alam Sekitar dan Air, Yang Berhormat Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, KASA melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) telah menyediakan pelbagai perancangan untuk mengatasi masalah ini.\nJPS Selangor telah menerima peruntukan berjumlah RM98.05 juta bagi tahun 2022, manakala permohonan bagi Rolling Plan Ketiga RMKe-12 yang telah dirancang untuk dipohon berjumlah RM2.06 bilion yang melibatkan lima buah projek.\nTambah beliau lagi, Projek Pemuliharaan Sungai untuk Mengurangkan Risiko Banjir telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan di bawah RMKe-12 bagi negeri Selangor. Skop kerja yang terlibat di bawah projek ini ialah kerja pengaluran sungai, menstabilkan tebing sungai, menaik taraf aset tak alih dan saluran serta struktur yang berkaitan bagi meningkatkan kualiti air sungai.\nYang Berhormat Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man turut menyatakan:\nPada tahun ini, sebanyak 50 kerja dalam Rolling Plan Kedua RMKe-12 telah dirancang untuk dilaksanakan dengan kos keseluruhan berjumlah RM10 juta. Sebanyak 13 kerja dalam pelaksanaan dan 37 projek yang lain masih pada peringkat perolehan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak tiga kerja akan dilaksanakan di daerah Klang dengan jumlah RM1.5 juta.\nSementara itu, kerajaan negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM13.43 juta kepada JPS negeri Selangor untuk melaksanakan kerja yang berkaitan di daerah Klang seperti peruntukan pembangunan (pasca banjir) sebanyak RM930 ribu, peruntukan mengurus (penyelenggaraan) sebanyak RM8.5 juta dan akaun amanah caruman parit (kerja-kerja kritikal dan segera) sebanyak RM4.0 juta.\nKASA juga telah memohon peruntukan tambahan sebanyak RM80 juta bagi Pelan Pemulihan Pasca Banjir: Kerja Membaik Pulih JPS Negeri Selangor, termasuklah kawasan Klang sebagai langkah untuk memulihkan kerosakan infrastruktur JPS.\nSeterusnya, bagi perancangan jangka masa panjang pula, JPS sedang melaksanakan Projek Penstabilan Tebing Sungai Aur, daerah Klang, Selangor yang telah bermula sejak 9 September 2021 dan dijangka siap pada 9 Mac 2023 dengan kos keseluruhan berjumlah RM10.32 juta bagi menangani fenomena banjir di Klang.\nJPS juga akan melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kapar Kecil dan Sungai Kapar Besar di daerah Klang dan Petaling, Selangor dengan peruntukan berjumlah RM188 juta." "Pelibatan dalam Mekanisme Pasaran Karbon Perlu Melalui KASA\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Menteri Alam Sekitar dan Air, Yang Berhormat Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa semua usaha dan pelibatan dalam mekanisme pasaran karbon perlu melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).\nJelas beliau, KASA sebagai pihak berkuasa kebangsaan bertanggungjawab untuk membenarkan semua transaksi antarabangsa kredit karbon dan melaksanakan pelarasan berpadanan bagi menjamin ketelusan pelaksanaan.\nBeliau menerangkan antara keputusan utama Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland pada tahun lalu adalah keperluan wajib bagi pihak berkuasa kebangsaan untuk membuat pelarasan berpadanan bagi mengelakkan pengiraan berganda bagi semua transaksi kredit karbon yang melibatkan sesuatu negara.\nKeputusan rundingan di UNFCCC COP-26 juga menyatakan bahawa semua transaksi kredit karbon yang melibatkan pemindahan antarabangsa perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa kebangsaan. Keperluan untuk membangunkan had transaksi dan mekanisme kawal selia juga diputuskan supaya transaksi kredit karbon antarabangsa lebih telus dan mengambil kira kepentingan pemegang taruh berkaitan.\nBeliau menjawab soalan Tuan Wong Hon Wai (Bukit Bendera) dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini berkaitan dengan mekanisme perdagangan karbon atau pasaran karbon kredit di Malaysia.\nBeliau juga menjelaskan bahawa KASA sebagai badan yang diiktiraf oleh UNFCCC bertanggungjawab membangunkan infrastruktur asas bagi memantau dan menjejaki transaksi kredit karbon negara. KASA juga berkewajiban menyediakan laporan yang melalui proses penilaian oleh pasukan pakar yang dilantik oleh UNFCCC mengenai pelibatan negara di dalam mekanisme pasaran karbon.\n\u201cSelaras dengan keputusan Jemaah Menteri, KASA sedang membangunkan Pusat Pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG) Kebangsaan yang akan turut mengandungi fungsi khusus berkaitan dengan pemantauan dan pelaporan mekanisme pasaran karbon negara,\u201d tambah beliau." "Tekanan Isu Utama Kesihatan Mental\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPahang \u2013 Jabatan Pendaftar, Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah mengadakan sebuah webinar sesi perkongsian ilmu berkenaan dengan kesihatan mental di tempat kerja di bawah program induk Siri Transformasi Eksekutif Perdana (STEP) secara dalam talian melalui Google Meet dan Facebook. Dengan menggunakan tanda pagar #Moh Cakna!, program ini telah menarik minat ramai pendengar yang terdiri daripada warga UMP dan pihak luar.\n\nPuan Hajjah Paridah Mohd Ali, Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Kaunseling dan Psikologi, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMP menjelaskan mental yang sihat adalah suatu keadaan di mana individu itu menyedari akan kebolehan diri sendiri, dapat mengendalikan tekanan normal hidup dengan baik, mampu bekerja secara produktif dan mampu menyumbang sesuatu kepada masyarakat.\nMenurut beliau, kesihatan mental boleh terbentuk melalui dua faktor, iaitu secara semula jadi dan faktor sekeliling seperti alam kanak-kanak yang tidak menyeronokkan, sejarah penderaan emosi dan fizikal, pernah mengalami penderaan seksual, tekanan akademik berterusan. Perkara yang menyumbang kepada faktor semula jadi ialah penyakit biologi, iaitu sebanyak 10 peratus daripadanya merupakan genetik keluarga.\nKajian pada tahun 2017 menunjukkan peratusan penduduk di Sabah menghidap penyakit mental tinggi, iaitu 42.9 peratus, diikuti penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (39.8 peratus) dan Kelantan (36.0 peratus). Penjawat awam perlu lebih memberikan perhatian terhadap kesihatan mental masing-masing kerana risiko untuk mendapat penyakit ini sangat tinggi.\nSementara itu, golongan wanita mempunyai peratusan yang tinggi untuk mendapat penyakit mental, manakala golongan lelaki pula lebih cenderung untuk membunuh diri, menyalahgunakan dadah dan menjadi ganas jika mengalami tekanan yang serius. Hal ini disebabkan oleh sifat wanita yang suka berkongsi masalah berbanding dengan lelaki yang suka memendam masalah dan menganggap sekiranya masalah tersebut diluahkan kepada orang lain akan menurunkan kualiti dirinya sebagai maskulin.\nTambah beliau lagi, terdapat pelbagai mitos berkenaan dengan pesakit mental. Mitos pertama ialah semua pesakit mental tidak siuman. Hal ini adalah tidak benar sama sekali kerana tidak semua penyakit mental akan menyebabkan penghidapnya tidak siuman kecuali mereka yang menghidap psikosis yang melibatkan gangguan kewarasan. Namun begitu, gangguan ini bersifat sementara dan boleh dirawat dengan ubat-ubatan.\n\u201cMitos yang kedua ialah penyakit mental disebabkan oleh genetik atau keturunan semata-mata. Tidak semua penyakit mental disebabkan oleh genetik atau keturunan kerana faktor ini hanya menyumbang kepada 10 peratus. Terdapat banyak faktor lain yang boleh menyumbang kepada penyakit mental seperti tekanan kerja, kewangan, dadah dan sebagainya,\u201c ujarnya.\nTerdapat juga mitos bahawa pesakit mental tidak dapat menjalani kehidupan biasa dan sentiasa bergantung pada orang lain. Hal ini salah sama sekali kerana seperti penyakit fizikal, penyakit mental juga boleh sembuh dan boleh dikawal sekiranya diberikan rawatan yang teratur dan berkesan. Pesakit yang hilang upaya akibat menghidap penyakit mental masih mampu berdikari jika menjalani rawatan pemulihan.\nBeliau turut berkongsikan bahawa dua rutin penting untuk kesihatan mental meliputi rutin pengurusan diri dan ehsan kendiri atau self-compassion. Rutin pengurusan diri merujuk menjaga diri dengan cuba berdamai dengan diri sendiri. Antara langkah dalam rutin pengurusan diri ialah menjaga kesihatan fizikal, makan dengan sempurna, elakkan tabiat yang tidak sembuh, tidur dengan cukup dan bersenam secara berkala. Untuk ehsan kendiri pula, individu itu perlu menyayangi, menerima dan memanjakan diri sendiri.\nAntara tindakan yang dapat membantu diri atau individu yang menghidap masalah kesihatan mental ialah menerima masalah kesihatan mental dengan terbuka, membuat pemeriksaan tahap kesihatan mental, mendapatkan rawatan daripada doktor atau pakar psikiatri, mendapatkan sokongan moral daripada ahli keluarga atau rakan, mengikuti pelan rawatan perubatan sepenuhnya, mengikuti pelan rawatan psikologi dan mengekalkan kesembuhan serta kesejahteraan mental sepanjang hayat." "Menuai Hasil Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPTA\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKita menggunakan bahasa ketujuh dalam dunia tapi masih lagi malu dan janggal berbahasa Melayu. Cita-cita\u00a0 saya adalah untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.\nDemikian antara ucapan Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob dalam sesi Penggulungan Naib Presiden UMNO, bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU\u00a0 2021).\nPernyataan yang berkesinambungan dari semasa ke semasa oleh Perdana Menteri Malaysia membuktikan bahawa pemimpin negara kita sangat serius tentang agenda bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara. Semboyan telah berbunyi, kita sebagai Keluarga Malaysia perlu mengambil peranan dan cakna dengan menjadi penggerak utama menggemakan seruan tersebut.\nTidak dinafikan, di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), dengan menyebut beberapa universiti sahaja di sini seperti Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Awam lain secara realitinya telah mendokong perkara ini dengan menawarkan subjek akademik dan kursus kemahiran dalam tempoh masa tertentu yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia kepada pelajar asing agar kelompok ini mampu berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan baik.\nImpak jangka panjang yang diperoleh ialah penebaran bahasa Melayu di negara pelajar tersebut dan hal ini akan membantu mempercepatkan proses bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN dalam multidisiplin ilmu. Justeru itu, peluang ini dapat digunakan dengan sebaik-baiknya oleh pihak Kedutaan Malaysia di luar negara untuk mempromosikan bahasa Melayu dan juga budaya Malaysia.\nPihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga mengorak langkah dengan mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Induk Pengembangan Bahasa Melayu Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Negara-negara ASEAN dengan mengenal pasti beberapa universiti luar negara yang berpotensi untuk berkolaborasi bagi mengadakan program akademik dengan universiti tempatan.\nBagi merealisasikannya, KPT melantik UKM melalui Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) sebagai Sekretariat untuk mengembangkan perkara penting yang berkaitan dengan tamadun Alam Melayu ke peringkat global. Semoga kita akan dapat menuai hasilnya daripada cadangan ini.\nDalam pada itu, perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di IPTA juga menarik untuk diperkatakan. Kebanyakan bidang aliran sains sosial menggunakan bahasa Melayu sebagai medium utama penyampaian kuliah berbanding dengan aliran sains. Faktor kepelbagaian program di universiti menyebabkan penyampaian dwibahasa dalam kuliah tidak dapat dielakkan. Oleh itu, kita perlu meraikan hal ini dan tidak mengambil lakuan dengan mendiskriminasikan senario ini. Begitu juga sebaliknya, tidak terus menganaktirikan bahasa Melayu dalam aspek keilmuwan. Terowong yang gelap pasti bersinar walaupun dengan satu titik cahaya.\nBagi memastikan mahasiswa tempatan tekal dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, UPM menerusi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi mengadakan Ujian Komunikasi Bahasa Melayu (UKOM-UPM) kepada pelajar mengikut syarat yang telah ditetapkan. Usaha murni ini secara langsung menyedarkan mahasiswa bahawa pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di universiti adalah tanggungjawab bersama dan ujian seperti ini seharusnya diperpanjang untuk semua universiti di Malaysia.\nSelain itu, impak optimum juga diberikan oleh pihak pengurusan tertinggi universiti yang memberikan sokongan kepada para akademik dan penyelidik untuk menulis dalam\u00a0 \u00a0jurnal, majalah, surat khabar dan menerbitkan buku akademik dalam bahasa Melayu serta menggalakkan diskusi dan forum bagi membincangkan pemerkasaan bahasa Melayu yang menunjukkan bahawa pihak universiti bersungguh-sungguh memberikan nilai ilmu kepada masyarakat kendatipun di sebalik cabaran penarafan kedudukan universiti di peringkat antarabangsa.\nUniversiti sebagai kepustakaan ilmu juga acapkali menjadi medan peneraju program besar seperti sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan dan mengadun Dasar Bahasa Kebangsaan sebagai elemen utama dalam pembinaan pelan strategik sesebuah universiti. Hal ini menjadikan IPTA sebagai sektor dan pusat pempengaruh yang paling ampuh untuk memartabatkan bahasa Melayu.\nSatu usaha yang proaktif melalui kolaborasi pihak penyelidik bahasa Melayu dan Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), wajar diberi pujian kerana bertindak efisien dengan memperkenalkan istilah yang merentasi pelbagai bidang ilmu. Kesepaduan bahasa Melayu dengan istilah teknologi, kesihatan dan perubatan serta bidang profesional lain yang lazimnya dalam bahasa Inggeris membuktikan bahawa bahasa Melayu mempunyai keupayaan untuk membina gedung peristilahan dan tidak cetek dengan pewujudan istilah baharu.\nPenerbitan bersiri buku peristilahan dalam bentuk bercetak ataupun secara dalam talian merupakan inisiatif terbaik demi kelangsungan tradisi keilmuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di IPTA. Misalnya, terbitan mutakhir DBP, iaitu Siri Kamus Istilah Mabbim: Kamus Pergigian Periodontik (2019) untuk meningkatkan kefahaman dalam bidang pergigian.\nSiri Kamus Istilah MABBIM: Kamus Peternakan Genetik dan Pembiakbakaan (2020) pula mengandungi istilah teras yang digunakan dalam bidang penternakan untuk membantu masyarakat memahami konsep istilah dengan lebih jelas. Selanjutnya, Daftar Istilah Semasa Bahasa Inggeris\u2013Bahasa Melayu\u2013Bidang (2021) yang menyediakan istilah pelbagai bidang yang berkaitan dengan teknologi maklumat, pendidikan, pentadbiran perniagaan, pelancongan dan sebagainya untuk rujukan dan panduan kepada masyarakat.\nSelain itu, Dr. Rusmadi Baharudin, Ketua Bahagian Perkamusan, Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP juga telah muncul di TV9 dengan berkongsi istilah semasa sama ada yang telah diterjemahkan atau dipadankan daripada istilah bahasa Inggeris bagi memperkaya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu khususnya untuk kemaslahatan IPTA. Antara istilah baharu yang boleh diperkenalkan termasuklah rumah mongel (tiny house) dan cerita baharu (reels).\nPelancaran dan penjenamaan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Universiti Awam (2016-2021) yang diperkenalkan pada 2011 oleh Mohamed Khaled Nordin, iaitu mantan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, merupakan satu langkah bijak bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu menjadi medium utama untuk saluran ilmu universiti-universiti di Malaysia.\nObjektif pelan tindakan ini mengkhusus kepada memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, menghasilkan graduan yang berketerampilan dalam bahasa Melayu, merealisasikan bahasa Melayu sebagai wadah pembangunan negara dan mengantarabangsakan Malaysia sebagai pusat rujukan tentang ilmu Alam Melayu. Pelan yang diaudit secara berkala ini dapat dilihat sebagai penggalak kepada ahli akademik, mahasiswa dan warga universiti untuk memperkaya dan memperluaskan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di universiti awam.\nBahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang dapat digunakan dalam disiplin ilmu sudah terbentang luas. Dengan adanya inisiatif daripada pelbagai pihak bagi memastikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu terus berkumandang di arena pengajian tinggi perlu dijulang dan bersama-sama menongkah harus menerjah kemustahilan yang mendatang. Janganlah kita asyik menyemai benih sahaja tetapi sudah tiba masanya untuk kita menuai hasil lumayan setelah sekian lama dituai sebagai wahana bahasa ilmu di IPTA.\n\u00a0\nProfesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad \u2212 Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia." "Tenaga Ombak sebagai Tenaga Masa Hadapan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKajian menunjukkan tenaga fosil akan habis dalam kurun ini. Beberapa penyelidik menjangkakan tenaga ini akan habis sekitar tahun 2040 hingga tahun 2060. Sementara itu, sumber arang batu pula diramal akan habis pada tahun 2112. Hal ini amat membimbangkan memandangkan kadar penggunaan tenaga dunia dijangka meningkat sebanyak 28 peratus dari tahun 2015 hingga tahun 2040.\nGas dan arang batu merupakan sumber utama bagi penjanaan tenaga elektrik di Malaysia. Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyasarkan pengurangan sehingga 50 peratus penggunaan arang batu pada tahun 2035 dan sifar arang batu pada 2050. Apakah penyelesaiannya? Sudah pastinya, tenaga boleh diperbaharui adalah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini. Hal ini kerana tenaga ini secara teorinya tidak akan habis dan bersifat mesra alam sekitar. Terdapat beberapa jenis tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar, angin, hidro, biojisim, geoterma dan ombak atau laut. \u00a0Persoalannya, tenaga yang manakah lebih sesuai untuk digunakan di Malaysia?\nPenulis berpendapat tenaga yang paling baik dan sesuai untuk digunakan di Malaysia ialah tenaga ombak. Kajian oleh beberapa pengkaji antarabangsa pada tahun 2008 menunjukkan bahawa nilai simpanan tenaga ombak adalah sebanyak dua kali penggunaan tenaga elektrik sedunia. Maka, dapat dibayangkan bahawa tenaga ombak ini dapat digunakan sebagai sumber tenaga bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia. Tenaga ini juga mempunyai simpanan yang lebih tinggi berbanding dengan tenaga solar dan angin. Hal ini menjadikan tenaga ini wajar untuk diterokai, apatah lagi Malaysia ialah sebuah negara yang dikelilingi dengan Laut China Selatan.\nSistem yang digunakan untuk menangkap tenaga ombak dipanggil sebagai penukar tenaga ombak atau wave energy converter (WEC). Secara umumnya, WEC dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu sistem turus air berayun atau oscillating water column (OWC), larian atas atau overtopping dan jasad berayun atau oscillating bodies yang setiap satunya mempunyai prinsip operasi yang tersendiri.\nSistem OWC ialah sistem yang paling terkenal dan menonjol sebagai penukar tenaga ombak. Cara kerja sistem ini juga agak mudah. Apabila berlaku lurah dan rabung ombak yang melanggar dinding kebuk udara, hal ini akan menyebabkan berlakunya kenaikan dan penurunan turus di dalam ruang OWC. Proses ini akan menyebabkan udara di ruang kebuk OWC dimampatkan dan dikembangkan. Udara ini kemudiannya akan masuk dan keluar di kawasan turbin dan bertindak menolak bilah pada turbin yang akan memutarkan generator dan sekali gus menghasilkan tenaga elektrik.\nTurbin yang digunakan dalam sistem OWC ialah turbin angin yang berputar pada satu arah sahaja walaupun berlaku pergerakan angin keluar dan masuk. Sistem ini juga tidak mempunyai sebarang komponen bergerak di dalam air. Hal ini menyebabkan sistem ini memberikan kesan yang minimum kepada ekosistem lautan.\nLoji Mutriku yang terletak di Sepanyol merupakan antara loji terawal menggunakan konsep OWC. Loji ini menghasilkan kuasa sebanyak 296 kilowatt (kW). Sementara itu, loji Mighty Whale di Jepun yang menghasilkan kuasa sebanyak 110 kW juga antara loji yang terkenal menggunakan konsep ini.\nSeterusnya, sistem larian atas ialah sistem yang berkonsepkan apabila berlakunya lurah dan rabung ombak, ombak akan dipaksa untuk menaiki tanjakan atau ramp. Hal ini menyebabkan sebahagian daripada air ombak tersebut akan tertolak jatuh ke dalam takungan. Air di dalam takungan yang mempunyai tenaga keupayaan yang mencukupi kemudiannya turun dan memutarkan bilah turbin yang terletak di bahagian bawah loji tersebut.\nTurbin yang digunakan untuk konsep ini adalah turbin yang berbeza dengan sistem hidro biasa. Hal ini disebabkan oleh turbin ini perlu berfungsi pada turus yang rendah, iaitu dalam julat 0.4 meter hingga tiga meter sahaja.\nLoji TAPCHAN di Norway merupakan yang terawal menggunakan konsep larian atas dan mampu memberikan kuasa sebanyak 350 kW. Loji yang paling berjaya menggunakan konsep larian atas ini ialah loji Wave Dragon di Denmark yang dapat menghasilkan kuasa sebanyak 940 kW.\nKonsep jasad berayun pula berlaku apabila terdapat aliran lurah dan rabung ombak, boya akan dipaksa untuk bergerak secara menegak, iaitu dari atas dan ke bawah. Pergerakan ini menyebabkan omboh di dalam sistem yang dipegang oleh tiub pemegang turut bergerak atas dan bawah lalu menghasilkan tenaga kinetik. Tenaga kinetik ini kemudian ditukarkan kepada tenaga elektrik melalui alat power take off (PTO).\nKonsep jasad berayun paling cekap berbanding di antara dua sistem sebelum ini \u00a0dan tidak menggunakan sebarang turbin. Walau bagaimanapun, pembinaan sistem ini lebih kompleks kerana terdapat keperluan untuk mewujudkan sistem agihan tenaga elektrik di dalam laut dan sistem binaannya yang tenggelam di dalam lautan.\nContoh loji yang menggunakan sistem jasad berayun ialah Loji PowerBuoy di Amerika Syarikat yang dapat menghasilkan kuasa sebanyak 50 kW. Loji Archimedes Wave Swing yang terletak di Portugal merupakan loji paling terkenal menggunakan kerana dapat menghasilkan kuasa sebanyak 2 megawatt.\nCabaran utama bagi ketiga-tiga konsep ini ialah sistemnya yang masih di tahap sederhana belum matang. Apatah lagi kajian terhadap tenaga dari lautan ini hanya bermula sekitar tahun 1960 berbanding dengan konsep lain yang sudah lama atau matang. Oleh itu, masih terdapat banyak ruang untuk dikaji dan diselidik supaya konsep ini dapat menangkap tenaga ombak dengan lebih cekap.\nDi Malaysia, terdapat banyak kajian yang membuktikan bahawa tenaga ini sangat sesuai untuk diaplikasikan. Hanya pemilihan jenis WEC yang sesuai sahaja yang perlu difikirkan supaya sistem tersebut dapat menghasilkan tenaga pada tahap optimum. Maka, di sinilah terdapatnya keperluan untuk para saintis, jurutera dan ahli teknologi perlu bergabung tenaga untuk menghasilkan loji yang sesuai di Malaysia.\nTidak menghairankan jika dalam tempoh 20 tahun hingga 30 tahun akan datang, tenaga ombak mampu menjadi tenaga utama di Malaysia. Hal ini sekali gus memberikan sinar harapan kepada sasaran TNB untuk mencapai\u00a0 aspirasi sifar arang batu menjelang tahun 2050." "Kit Ujian Pantas Buatan Malaysia Peroleh Skor Ketepatan 100 Peratus\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGeorge Town \u2013 Medical Innovation Ventures Sdn. Bhd. (Mediven) mengumumkan kit ujian pantas (RTK) Antigen ProDetect\u00ae COVID-19 keluarannya memperoleh skor ketepatan 100 peratus dalam Program Penilaian Kualiti Luar (EQAP) yang dikendalikan oleh European Society untuk penilaian kualiti luaran (EsFEQA).\nPengarah Operasi Mediven, Dr. Lim Li Sze memaklumkan kit tersebut sebagai alat saringan awal yang bernilai tinggi disahkan oleh EQAP sebagai alat yang mampu mengekalkan kualiti serta ketekalannya dalam menghasilkan ketepatan tahap tinggi.\nMemandangkan penularan varian Omicron yang semakin membimbangkan, pengesanan awal, pengasingan dan rawatan kepada mereka yang dijangkiti adalah penting dan bagi mencegah penularan jangkitan COVID-19.\nSebanyak 122 buah klinik kesihatan dan hospital awam yang menggunakan RTK Antigen ProDetect\u00ae COVID-19 telah mengambil bahagian dalan EQAP. Kit ujian tersebut menyediakan keputusan ujian dalam tempoh 20 minit dan mampu mengesan semua varian yang membimbangkan, termasuklah Delta dan Omicron.\n\u201cPencapaian Mediven dalam penilaian EQAP mencerminkan dedikasi dan misi syarikat untuk menyediakan teknologi diagnostik yang canggih,\u201d ujar Ariff Ismail selaku Pengarah Eksekutif Mediven.\nMediven ialah syarikat diagnostik perubatan di Pulau Pinang yang membangunkan, mengeluarkan dan memasarkan ujian molekul diagnostik klinikal berkualiti tinggi dan pantas.\nBaru-baru ini, Mediven juga bekerjasama dengan MyDocLab melalui aplikasi penjagaan kesihatan bagi membolehkan sekolah, badan korporat dan individu mengurus pekerja dan status kesihatan diri dengan mudah dan efektif. Aplikasi tersebut membolehkan pelaporan ujian pantas antigen dilakukan dengan mudah bagi tujuan rentas sempadan antarabangsa di samping menjana laporan rasmi yang diakui profesional untuk Laluan Perjalanan Vaksin (VTL)." "MOSTI-KSTI Lancar Program Rintis Sandbox Digital loT\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu \u2013 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) telah melancarkan Program Rintis Sandbox Digital IoT (Sandbox IoT) yang pertama di Borneo dan kelapan di Malaysia. Program ini bertujuan untuk merancakkan pembangunan inovasi serta menggalakkan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).\nSandbox IoT dijangka menggalakkan pembabitan belia untuk menguji idea teknologi baharu yang dapat memacu ekonomi negeri, meningkatkan produktiviti sektor awam dan swasta serta secara langsung menggalakkan pembudayaan STI, selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.\nMenurut Menteri MOSTI, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Adham Baba, percambahan aplikasi IoT dalam industri di Sabah dijangka bakal menyumbang sebanyak RM9.8 bilion kepada pendapatan negara menjelang tahun 2025.\nSandbox IoT akan bertindak sebagai pusat bersepadu untuk penyelesaian berasaskan IoT yang dilengkapi dengan perkhidmatan dan kemudahan sokongan seperti ujian kebolehoperasian dan pembangunan produk serta perkhidmatan IoT. Usaha pendigitalan ini akan memberikan manfaat kepada sektor seperti perkhidmatan, pertanian, perlombongan, dan pelancongan.\nTambah beliau lagi, antara impak awal yang disasarkan terhadap Sandbox IoT ini ialah pembangunan 20 proof-of-concept melalui pelaksanaan 50 program pembangunan kapasiti yang melibatkan masyarakat setempat. Penggunaan aplikasi IoT juga adalah selaras dengan inisiatif kerajaan pusat untuk menerima pakai Revolusi Industri 4.0 dalam pelbagai sektor utama di seluruh negara.\nMenteri KSTI, Yang Berhormat Datuk Haji Yakub Khan pula menyatakan bahawa pelancaran program tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya dalam menggalakkan pembudayaan sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan masyarakat.\nSandbox IoT ini akan menjadi platform kepada usahawan digital untuk menghasilkan dan menguji produk yang dihasilkan sebelum digunakan.\nMajlis pelancaran Sandbox IoT telah disempurnakan pada 1 Mac 2022 oleh Menteri KSTI. Majlis tersebut juga turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara KSTI dengan Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah serta KSTI dengan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI).\nKerjasama antara MRANTI dengan KSTI akan menumpukan sokongan pengkomersialan kepada pengamal teknologi tempatan, dan seterusnya menjana peluang ekonomi baharu untuk rakyat Sabah dengan mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.\nTurut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha MOSTI, Yang Berbahagia Datuk Zainal Abidin Abu Hassan." "Fonon Menjana Tenaga Getaran dalam Peranti Termoelektrik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nFonon dalam cabang ilmu fizik jirim memeluwap atau condensed matter physics ditakrifkan sebagai unit bagi tenaga getaran atom dalam kekisi hablur. Foton dan fonon boleh dibezakan dari segi tenaga dan bentuk getaran, jenis gelombang dan perlakuannya. Foton dikaitkan dengan tenaga getaran zarah yang membawa cahaya atau sinaran dalam gelombang elektromagnet. Fonon pula lebih sinonim dengan tenaga getaran dalam gelombang bunyi.\nSelain itu, foton dianggap sebagai gelombang serta zarah dan merupakan entiti yang dapat dilihat secara fizikal seperti sinar-X dan sinaran inframerah. Fonon pula ialah mod getaran yang berlaku dalam sesuatu bahan dan tidak dapat dilihat secara fizikal. Zarah yang membawa cahaya atau sinaran elektromagnetik dalam foton tidak berinteraksi sama sekali (jika mempunyai panjang gelombang yang berbeza). Fonon dengan panjang gelombang yang berbeza dapat berinteraksi dan bercampur ketika saling berlanggar, lalu menghasilkan panjang gelombang yang berbeza dan mewujudkan kerancuan yang sukar untuk diramal dan dikawal.\nSecara umumnya, para penyelidik dan jurutera menginovasikan ciptaan peralatan pintar dengan menggabungkan pelbagai peranti elektronik bersaiz mikro. Namun begitu, peningkatan kelajuan dan ingatan (memory) sesuatu peralatan secara berterusan akan menghasilkan haba. Berdasarkan konsep fonon dan pengaliran haba melalui hablur, bahan yang boleh nyah haba dicipta bagi meningkatkan kecekapan peralatan elektrik. Persoalannya, bagaimana fonon ini terhasil? Apabila peredaran haba yang bergerak dalam bahan pepejal (analogi bagi satu peranti elektronik dalam peralatan pintar) perlu dikawal, kebiasaannya hal tersebut dianggap sebagai proses aliran zarah.\nBagi memahami bagaimana haba menyebar melalui bahan, pertimbangkan haba seperti bunyi. Melalui pertimbangan ini, pergerakan atau getaran atom (zarah terkecil dalam pepejal) dalam kekisi dapat difahami dengan lebih mudah. Secara umum, bunyi ialah gangguan tenaga mekanik yang merambat melalui jirim dalam bentuk gelombang. Perambatan gelombang ini dibahagikan berdasarkan beberapa jenis jirim, iaitu pepejal, cecair, gas. Bagi jenis pepejal, perambatan gelombang adalah dalam bentuk mampatan dan ricih. Secara lebih terperinci, bunyi boleh diterangkan melalui ciri umum seperti frekuensi, jarak gelombang, tempoh, amplitud, kelajuan dan arah.\nFrekuensi (f) didefinisikan sebagai ukuran jumlah kejadian suatu peristiwa berulang (tempoh) dalam seunit masa atau lebih mudah diungkapkan sebagai f = 1/T, iaitu T mewakili masa. Jika gelombang mempunyai halaju (\u028b) dan panjang gelombang (\u03bb), frekuensi boleh ditakrifkan sebagai f = \u028b/\u03bb. Getaran frekuensi yang lebih rendah adalah bersesuaian dengan bunyi, sementara getaran frekuensi yang lebih tinggi adalah bersesuaian dengan haba. Berdasarkan asas ini, boleh dirumuskan bahawa perambatan gelombang (dalam bentuk mampatan dan ricih) bagi atom dalam kekisi sesuatu pepejal berlaku pada getaran frekuensi yang lebih tinggi kerana terkait dengan penyebaran haba. Pada setiap frekuensi, prinsip mekanik kuantum menyatakan bahawa tenaga getaran mestilah gandaan dari jumlah tenaga asas (kuanta).\nKonsep ini adalah sama seperti prinsip kuantum dalam foton, iaitu kuantiti tenaga tertentu yang boleh diserap atau dibebaskan oleh sesuatu sistem berkadar dengan frekuensi. Secara ringkasnya, ahli fizik menamakan tahap asas tenaga sebagai fonon, iaitu unit bagi getaran atom dalam kekisi. Apabila menyebut tentang tenaga, sudah pasti hal ini digambarkan sebagai sesuatu yang boleh dibahagikan pada tingkat yang berbeza menurut perspektif kuantum mekanik.\nSecara ideal, asas bagi getaran ini boleh dianalogikan sebagai sebiji bola yang digantung pada spring. Bola mewakili atom, manakala spring mewakili kekisi dalam hablur. Spring ini akan sentiasa bergetar disebabkan oleh muatan haba yang tersimpan dalam hablur selain kehadiran daya dari luar yang mendorong bola di atas spring untuk turut sama bergetar. Getaran pada frekuensi yang sama (harmonic effect) ini boleh dikatakan sebagai gerakan harmonik ringkas (simple harmonic motion). Getaran ini boleh dinyatakan melalui persamaan hubungan sebaran. Namun begitu, secara realitinya, kebanyakan hablur dipenuhi dengan gabungan fonon yang tidak teratur (anharmonic effect) disebabkan faktor jenis dan berat atom yang berbeza dalam kekisi hablur tersebut. Selain mempunyai frekuensi yang berbeza dan bergerak dalam arah yang berbeza, semuanya saling bertindih antara satu sama lain atau disebut sebagai choppy sea.\nJika fonon tidak dapat dilihat, bagaimanakah karakter fonon dapat dicirikan? Pada kebiasaannya, sampel bahan dalam bentuk pepejal (serbuk/palet/saput tipis) bersaiz nano akan dianalisa melalui teknik pencirian spektroskopi Raman dan dibandingkan dengan teknik analisa pemodelan mekanik kuantum pengkomputeran yang dipanggil sebagai density-functional theory (DFT). Setelah dijelaskan karakter fonon secara realiti dan teknik pencirian yang boleh diguna pakai, bagaimanakah sifat fonon ini boleh dimanfaatkan untuk menyah haba dalam peralatan pintar? Mengambil contoh komputer riba dalam hal ini, komputer riba difabrikasi dengan gabungan pelbagai peranti semikonduktor seperti mikrocip. Peningkatan kelajuan dan ingatan (memory) dalam komputer riba secara berterusan akan menghasilkan haba.\nPernyataan masalah ini telah menjurus kepada idea memanipulasikan tingkah laku fonon dalam peranti semikonduktor untuk meningkatkan kadar proses nyah haba dari komputer riba melalui penggunaan peranti termoelektrik. Bahan ini bukan sahaja dapat menyah haba, bahkan dapat diguna semula untuk proses penjanaan tenaga elektrik pada suatu tahap kepanasan tertentu. Kunci utama dalam pengkajian peranti termoelektrik ialah memastikan bahan tersebut dapat mengalirkan elektrik dengan lancar melalui pergerakan elektron dan menyekat kepanasan melalui pergerakan fonon. Secara ringkasnya, dalam sesuatu aplikasi tertentu, terdapat keperluan untuk mengkaji bahan konduksi fonon yang kuat. Namun begitu, bagi sesetengah aplikasi, perkara yang ingin diberikan perhatian ialah mengurangkan penyebaran fonon.\nPeranti termoelektrik berupaya menukarkan tenaga haba kepada tenaga elektrik secara langsung melalui kesan Seebeck, iaitu penghasilan perbezaan voltan yang disebabkan oleh perbezaan suhu antara dua bahan konduktor elektrik yang tidak serupa atau bahan semikonduktor. Apabila haba digunakan pada satu daripada dua bahan konduktor atau semikonduktor, maka berlaku getaran pada frekuensi yang tinggi terhadap atom dalam kekisi hablur (pergerakan fonon). Penyebaran haba ini menyebabkan elektron yang berada dalam bahan ini teruja disebabkan proses pemanasan. Oleh sebab hanya satu dari dua sisi yang dipanaskan, elektron mula bergerak ke arah sisi kedua konduktor yang lebih sejuk. Sekiranya kedua-dua konduktor disambungkan dalam bentuk litar, arus terus mengalir melalui litar. Voltan yang terhasil dari kesan Seebeck sangat kecil, iaitu dalam julat mikrovolt per Kelvin dan perbezaan ini berlaku di persimpangan suhu. Sekiranya perbezaan suhu cukup ketara, peranti ini boleh menghasilkan beberapa milivolt.\nPeranti termoelektrik mempunyai pelbagai kegunaan terutamanya dalam kepesatan pembangunan Industri Revolusi 4.0 seperti sumber tenaga bagi sensor untuk aplikasi Internet Benda (IoT) atau secara amnya dikenali sebagai rangkaian sensor tanpa wayar, penggunaan semula sisa haba untuk kenderaan dan relau industri, pemulihan tenaga terma solar, pengecasan peralatan pintar di kawasan pedalaman dan penjanaan kuasa puncak. Antara kelebihan peranti termoelektrik ialah mempunyai jangka hayat yang panjang, bebas dari pencemaran bunyi dan mesra alam.\nSatu daripada potensi penggunaan peranti termoelektrik dalam pemulihan mikrosistem pemulihan tenaga yang menyasarkan peningkatan tempoh jangka hayat bateri dalam komputer riba dan peningkatan kitar tugas supercapacitor bagi aplikasi rangkaian sensor tanpa wayar. Antara bahan yang berpotensi digunakan sebagai penjana termoelektrik (TEG) ialah gabungan dua jenis bahan semikonduktor yang mempunyai perbezaan suhu, iaitu panas dan sejuk dalam bentuk saput tipis berasakan sebatian tellurid (jenis-n bismut tellurid, iaitu Bi2Te3 dan jenis-p antimoni tellurid, iaitu Sb2Te3). Bahan ini berkongsi kelebihan dan sesuai dengan silikon (bahan semikonduktor utama) dalam integrasi mikroelektronik. Pada masa yang sama, bahan ini banyak digunakan dalam aplikasi industri seperti penjana dan pendingin termoelektrik konvensional.\nPeranti termoelektrik dari jenis-n (Bi2Te3) dan jenis-p (Sb2Te3) ini menghasilkan kuasa elektrik dan kemudiannya, elektronik kuasa ultra rendah dengan cara melakukan pembetulan arus terus-arus terus (DC-DC rectification) dengan faktor pertukaran sebagai pembolehubah yang dimanipulasikan. Bagi tujuan ini, terdapat peningkatan pertukaran (conversion step-up) DC/DC untuk meningkatkan isyarat elektrik output yang dihasilkan dalam peranti termoelektrik.\nHasil kajian menunjukkan potensi tempoh jangka hayat bateri bagi komputer riba meningkat sebanyak tiga peratus hingga 3.8 peratus dengan kecerunan suhu 60 \u00baC hingga 75\u00baC. Sebenarnya, dalam memastikan setiap perubahan proses di peringkat aplikasi berlaku tanpa sebarang masalah, asasnya masih lagi bergantung pada keupaayaan bahan semikonduktor berfungsi mengikut mekanisma getaran atom dalam kekisi hablur Bi2Te3 dan Sb2Te3 yang berlaku pada frekuensi tinggi. Malah, faktor yang menghadkan penggunaan peranti termoelektrik dalam komputer riba secara realiti adalah disebabkan peratus keupayaannya yang masih rendah. Pelbagai kajian bersifat asas masih giat dijalankan bagi meningkatkan peratus keupayaan peranti termoelektrik pada tahap maksima.\nHal ini dapat dilaksanakan dengan menggabungkan tiga subjek utama dalam Fizik, iaitu Termodinamik, Asas Elektronik dan Fizik Keadaan Pepejal berdasarkan penyelidikan yang bertajuk Project Based Learning: Synergy in Undergraduate Physics Courses at Universiti Teknologi Malaysia di bawah Dana Teaching and Learning Research Initiative (TLRI) melalui Tabung Kewangan (Pesisir) Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).\n\nSebagai kesimpulannya, tingkah laku fonon memainkan peranan utama untuk menjana tenaga getaran dalam peranti termoelektrik bagi aplikasi peralatan pintar melalui pertukaran tenaga haba kepada tenaga elektrik. Penekanan dan kajian mendalam terhadap aspek fundamental melalui gabungan tiga subjek utama dalam Fizik dapat meningkatkan capahan aplikasi peranti termoelektrik secara realiti.\n\u00a0\nAimuni Muhammad Rawi merupakan pelajar Tahun 2, Sarjana Muda Sains Fizik (SSCZ), UTM, Skudai, Johor.\n Dr. Siti Salwa Alias merupakan ahli kumpulan penyelidik Advanced Optical Materials Research Group (AOMRG), ahli Jawatankuasa The Malaysian Solid State Science & Technology Society (MASS) Chapter UTM dan Pensyarah Kanan di Jabatan Fizik, Fakulti Sains, UTM, Skudai, Johor." "KKM Terima Sumbangan Peralatan Perubatan RM28 Juta\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJohor Bahru \u2013 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima sumbangan peralatan perubatan bernilai lebih RM28 juta daripada Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan kerjasama Yayasan Temasek dari Singapura.\nSultan Johor, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan menyampaikan sumbangan tersebut kepada Menteri Kesihatan, Yang Berhormat (YB) Khairy Jamaluddin di Istana Pasir Pelangi hari ini.\nSumbangan yang melibatkan pelbagai peralatan perubatan itu adalah untuk kegunaan hospital kerajaan dalam merawat pesakit dan memberi sokongan berterusan terhadap usaha mencegah penularan wabak COVID-19.\nMenerusi catatan dalam laman Facebook DYMM Sultan Ibrahim, baginda bertitah KKM menerima 400 unit ventilator tekanan salur udara dwipositif (BIPAP)\u00a0bernilai lebih RM8 juta.\nSelain itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) turut menerima pelbagai peralatan perubatan seperti pelindung muka, pelitup muka KN95, ventilator, mesin dialisis, swabbing mobile dan BIPAP yang bernilai lebih RM10 juta. Sebelum ini, JKNJ turut menerima pelbagai peralatan perubatan lain.\nSementara itu, menerusi ciapan Twitter YB Khairy Jamaluddin, KKM berbesar hati menerima sumbangan tersebut dan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada DYMM Sultan Johor yang berkenan menyempurnakan sumbangan tersebut.\nTurut berangkat dalam majlis ini ialah Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor. Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Dato\u2019 Dr. Aman Rabu dan Ahli Pemegang Amanah YSIJ, Dato\u2019 Avinderjit Singh Harjit Singh turut hadir mengiringi baginda." "Bahaya Memandu Ketika Mengantuk\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPemanduan jarak jauh biasanya akan menyebabkan pemandu berasa mengantuk dan letih. Walaupun kebanyakan orang mengetahui akan hal ini, pemandu masih bersikap sambil lewa tentang bahayanya memandu dalam keadaan sedemikian. Memandu dalam keadaan mengantuk sama seperti memandu dalam keadaan mabuk.\nOrang yang memandu selepas berjaga selama 17 jam hingga 19 jam akan menunjukkan prestasi pemanduan yang lebih buruk daripada pemandu yang mempunyai paras alkohol dalam darah sekitar 0.05 peratus. Berjaga selama 24 jam tanpa tidur pula adalah bersamaan dengan mempunyai paras alkohol dalam darah sekitar 0.10 peratus. Hal ini jauh lebih tinggi daripada had yang dibenarkan oleh undang-undang, iaitu sekitar 0.08 peratus.\nPemandu yang keletihan mungkin akan terlelap sejenak, iaitu apabila pemandu tertidur selama beberapa saat. Keadaan ini sangat berbahaya kerana kegagalan untuk kekal berjaga selama lima saat ketika memandu pada kelajuan 90 km/jam bererti kita memandu sejauh 120 meter sambil tidur. Tempoh ini boleh mengakibatkan kemalangan. Individu yang terlelap sejenak biasanya mengalami tanda amaran awal seperti kerap menguap dan mengelipkan mata, berat mata dan rengsaan mata. Tanda bahaya mutlak adalah jika kita tertidur selama beberapa saat, yang mungkin disebabkan oleh keadaan yang dikenali sebagai terlelap sejenak (microsleep). Pekerja syif, pemandu lori atau trak komersial dan peniaga yang sentiasa melakukan perjalanan atau pemandu kenderaan di bawah umur 25 tahun merupakan kumpulan yang paling berisiko dan terdedah kepada rasa mengantuk semasa memandu.\nTidur adalah satu-satunya penawar untuk keletihan dan mengantuk. Kebanyakan orang dewasa memerlukan tidur sekurang-kurangnya tujuh jam sehari, manakala remaja pula memerlukan tidur sekurang-kurangnya lapan jam. Pemandu yang tidur kurang daripada empat jam berisiko terhadap kemalangan sepuluh kali ganda berbanding dengan pemandu yang mendapat tidur secukupnya. Oleh itu, jangan mulakan perjalanan jarak jauh jika tidak mendapat tidur yang mencukupi atau selepas mengalami tekanan besar. Apabila melakukan perjalanan jauh, pemandu perlu melelapkan mata seketika setiap empat jam. Walaupun begitu, tidur pendek ini hanyalah perlu diambil sekitar 15 minit hingga 20 minit sahaja.\nSelain itu, pemandu perlu menyesuaikan masa memandu atau perjalanan untuk mengelakkan titik rendah biologi tubuh, yang ditentukan oleh ritma sirkadian. Titik rendah biologi biasanya adalah antara pukul 2.00 pagi hingga 5.00 pagi dan sekitar pukul 1.00 petang hingga 3.00 petang. Seboleh-bolehnya elakkan daripada memandu untuk jarak yang jauh pada waktu kritikal ini.\nSatu daripada petua memandu jarak jauh yang paling penting ialah pemandu perlu memastikan diri dapat berehat pada sela yang tetap. Pemandu juga perlu berhenti rehat selepas memandu bagi setiap dua jam pemanduan ataupun sekitar 160 kilometer (100 batu) jarak perjalanan. Pemandu boleh bersantai dan keluar daripada kenderaan untuk seketika. Berjalan beberapa langkah sambil menghirup udara segar bukan sahaja dapat memberikan peluang untuk meregangkan anggota tubuh, malah boleh meningkatkan bekalan oksigen ke dalam aliran darah. Hal ini meningkatkan kemampuan pemandu untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam pemanduannya. Pemandu juga boleh berhenti rehat di kawasan rehat dan rawat dan hentian. Jangan lupa juga untuk menyegarkan diri dengan membasuh muka sebelum menyambung perjalanan.\nSementara itu, makanan yang sesuai turut mempengaruhi keadaan pemandu. Jangan memandu ketika lapar atau kenyang. Makan sedikit kudapan ketika memandu kerana dapat memberikan tenaga. Walau bagaimanapun, berhenti untuk makan banyak adalah tidak digalakkan kerana keadaan ini akan mengundang rasa mengantuk. Pemandu juga perlu sentiasa minum air dengan secukupnya. Tindakan ini harus dilakukan sepanjang masa dan bukan ketika memandu sahaja. Pengambilan alkohol mestilah dielakkan kerana boleh menjejaskan lagi keupayaan seseorang itu untuk berjaga dan membuat keputusan. Memandu selepas minum alkohol walaupun hanya segelas boleh menjejaskan tahap keletihan seseorang.\nAda baiknya sekiranya pemandu dapat melakukan perkara lain ketika memandu jarak jauh selagi aktiviti ini tidak mengalihkan perhatiannya daripada jalan raya. Sebagai contohnya, audio yang menarik dapat menyegarkan minda pemandu ketika memandu. Selain itu, adalah lebih baik jika pemandu mempunyai rakan untuk berbual atau seseorang yang dapat menghiburkan dan sedar jika pemandu mula berasa letih. Dalam senario yang ideal, rakan tersebut boleh mengambil alih pemanduan dan tiba di destinasi dengan selamat.\nKita juga perlu berhati-hati apabila memandu selepas mengambil ubat-ubatan tertentu. Sebagai contohnya, ubat tidur, ubat psikoaktif, analgesik, dan ubat alergi memberikan kesan terhadap kesihatan pemandu. Begitu juga jika pemandu mengalami keadaan perubatan seperti keletihan kronik atau gangguan tidur. Pemandu digalakkan untuk menghubungi doktor atau ahli farmasi jika berasa tidak pasti dengan kesan ubat tersebut. Jika pemandu mengalami masalah tidur yang kerap, dapatkan nasihat daripada doktor untuk mengetahui penyebab masalah tersebut. Kadangkala simptom kecil seperti keletihan juga boleh menjadi tanda masalah kesihatan yang lebih besar, misalnya apnea tidur atau narkolepsi.\nTerdapat beberapa cara yang boleh mengurangkan rasa mengantuk semasa memandu. Walau bagaimanapun, cara ini terpakai untuk jangka masa pendek sahaja dan mungkin akan kembali kepada keadaan asal selepas beberapa ketika. Caranya adalah dengan minum minuman seperti kopi, teh atau minuman isotonik. Minuman ini dikatakan boleh meningkatkan daya fokus selain membekalkan tenaga. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa kafein mengambil masa hingga 30 minit untuk memberikan kesannya dan mengurangkan rasa mengantuk. Namun begitu, jumlah kafein di dalam setiap cawan mungkin berbeza.\nSelain kopi, pemandu juga boleh menyediakan snek dan makanan ringan seperti kekacang, gula-gula atau potongan buah kerana mengunyah itu dapat mengelakkan rasa mengantuk. Seterusnya, pemandu juga boleh membuka tingkap semasa memandu. Bunyi angin yang kuat serta angin sejuk yang menerpa muka mampu membuatkan pemandu berasa segar semula. Radio juga boleh membantu pemandu bagi mengelakkan rasa mengantuk dan sunyi dengan syarat tidak memilih lagu yang mendayu-dayu. Pemandu juga boleh menguatkan bunyi radio itu jika perlu.\nSekiranya pemandu masih berasa letih, maka perlulah berhenti memandu. Tangguhkan sebentar perjalanan dan meneruskan perjalanan selepas berehat. Cara yang terbaik untuk menangani masalah kekurangan tidur adalah dengan mendapatkan tidur yang mencukupi.\nProfesor Madya Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff ialah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia." "Amaran Ribut Petir, Hujan Lebat dan Angin Kencang di Semenanjung Malaysia dan Sabah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia dan Sabah. Kawasan yang terlibat adalah seperti yang berikut:\n7 Mac 2022 hingga pukul 7.00 malam\n1. Kedah (Yan, Kuala Muda, Baling, Kulim, dan Bandar Baharu)\n2. Pulau Pinang\n3. Perak\n4. Pahang (Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Bera, dan Rompin)\n5. Selangor\n6. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur\n7. Wilayah Persekutuan Putrajaya\n8. Negeri Sembilan\n9. Melaka\n10. Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, dan Johor Bahru)\n11. Sabah: Pantai Barat (Tuaran dan Ranau) dan Sandakan (Tongod)" "Banjir Kilat di Kuala Lumpur Akibat Hujan Lebat Berterusan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kejadian hujan lebat berterusan bermula pada pukul 2.30 petang ini telah menyebabkan berlakunya banjir kilat di beberapa jalan utama di pusat bandar Kuala Lumpur, Jalan Batu Bata, Kg Periuk, Kg Pasir Baru dan Kolej Telekom.\nMenerusi kenyataan media Menteri Alam Sekitar dan Air, Yang Berhormat Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata hujan lebat yang luar biasa ini menyebabkan kejadian banjir akibat sistem perparitan sedia ada tidak dapat menampung kapasiti aliran air yang tinggi.\nBacaan hujan yang tinggi direkodkan di Stesen Taman Desa SMART dan Stesen Air Panas, Kuala Lumpur masing-masing dengan bacaan sebanyak 106.5 milimeter dan 155 milimeter dalam tempoh dua jam.\nAras air Sungai Gombak di Stesen Jalan Tun Razak adalah pada aras bahaya dengan bacaan 31.99 meter, manakala Sungai Gombak di Jalan Parlimen menunjukkan bacaan sebanyak 30.38 meter dan Sungai Klang di Stesen Jambatan Tun Perak mencatatkan bacaan sebanyak 30.12 meter.\nBeliau berkata, insiden banjir kilat ini juga menyebabkan kawasan tempat letak kereta di Lebuhraya Besraya ditenggelami air hingga kedalaman 0.6 meter. Dianggarkan sebanyak 103 buah rumah telah terjejas di sekitar Kampung Periuk dan Kampung Pasir Baru, Kuala Lumpur.\n\u201cSemua infrastuktur sistem kawalan banjir di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan (JPSWPKL) seperti seperti rumah pam, pintu kawalan air, siren, kolam takungan dan lencongan banjir telah beroperasi dengan baik mengikut prosedur operasi standard. Untuk makluman, lencongan terowong SMART telah diaktifkan kepada Mod 2B pada pukul 3.40 petang, Mod 2 pada pukul 3.58 petang dan seterusnya Mod 3 pada pukul 4.44 petang,\u201d ujar beliau.\nBagi mengurangkan risiko banjir kilat ini, JPSWPKL sedang melaksanakan kerja pembaikan dan menaik taraf kolam takungan banjir di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.\nBeliau turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan peka dengan bunyi siren amaran banjir. Sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku serentak, orang ramai perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa." "Glaukoma Pencuri Penglihatan Senyap\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nOrgan mata merupakan anugerah yang amat bermakna kepada setiap insan, khususnya para wanita. Mata suatu aset pesona yang memukau tetapi mata juga membuatkan wanita terpedaya, menjadi boros dan tidak berhemah. Bersempena dengan sambutan Hari Wanita Sedunia 2022, menerusi slot Selamat Pagi Malaysia, telah dikongsikan beberapa langkah untuk mengesan gejala glaukoma, pencegahan dan rawatan yang diberikan kepada pesakit yang menghidap glaukoma oleh Dr. Fatin Hanisah Firman, Pensyarah dan Doktor Pakar Mata, Hospital UiTM.\nMenurut beliau, glaukoma ialah penyakit pada saraf mata yang berlaku kepada manusia dan boleh menyebabkan kebutaan. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh medan penglihatan mata seseorang itu menjadi semakin sempit dan perlu dicegah sebelum menjadi lebih buruk yang akan memberikan kesan kepada bahagian tengah mata dan boleh menjadi buta.\nJelas beliau lagi, penyakit glaukoma ini sebenarnya boleh dielakkan sekiranya dapat dikesan lebih awal oleh pesakit. Oleh sebab itu, kesedaran tentang glaukoma ini perlu dipertingkatkan. Hal ini kerana jika penyakit ini dapat dikesan pada peringkat awal, rawatan yang diberikan kepada pesakit dapat mengelakkan pesakit daripada mengalami komplikasi kebutaan.\nTambah beliau, terdapat perbezaan antara rabun, katarak dan glaukoma. Rabun ialah struktur mata dalam keadaan normal, namun begitu mata tidak dapat melihat dengan jelas akan sesuatu objek. Katarak pula melibatkan kanta mata dalam keadaan legap yang menyebabkan keadaan cahaya tidak dapat masuk ke dalam mata, manakala glaukoma ialah keadaan penyakit yang dialami oleh bahagian saraf mata, iaitu di bahagian belakang di sebelah luar mata. Kerosakan saraf ini tidak boleh dipulihkan disebabkan oleh kecederaan yang telah berlaku kepada kepala saraf.\nGlaukoma tidak bergejala kepada sesetengah individu. Pada kebiasaannya, glaukoma dapat dikenal pasti tanpa disengajakan semasa membuat pemeriksaan atau saringan mata. Disebabkan oleh tidak bergejala, glaukoma dianggap sebagai pencuri penglihatan senyap oleh pakar mata.\nKatanya lagi, saringan mata amat penting dilakukan oleh individu yang berusia 40 tahun dan ke atas, khususnya individu yang menghidap kencing manis atau mempunyai ahli keluarga atau keturunan yang menghidap penyakit glaukoma. Golongan ini berisiko tinggi dan hendaklah segera mendapatkan pemeriksaan. Penyakit ini biasanya berlaku kepada individu yang lebih berumur, namun dalam sesetengah keadaan, bayi dan remaja atau golongan muda juga boleh mengalami glaukoma. Ibu bapa haruslah sentiasa peka dengan keadaan mata bayi dan anak-anak mereka agar dapat mengesan glaukoma dengan lebih awal.\nMengulas lebih lanjut berkaitan dengan glaukoma, keadaan tekanan mata juga merupakan satu daripada faktor individu mengalami penyakit ini selain gejala seperti sakit pada mata, pening, loya, dan muntah. Kesedaran kepada masyarakat umum tentang pemeriksaan dan saringan mata terus dilaksanakan oleh pihak Hospital UiTM dan pusat kesihatan. Tindakan ini bagi memastikan glaukoma dapat didiagnosis lebih awal dan rawatan susulan boleh diberikan agar dapat memperlahankan atau memberhentikan kerosakan pada saraf mata.\nSementara itu, bersempena dengan Hari Glaukoma Sedunia pada 6 Mac setiap tahun, Hospital UiTM telah menyediakan ruang kepada orang awam untuk membuat janji temu bagi membuat pemeriksaan dan saringan mata bermula pada 6 Mac 2022 hingga 12 Mac 2022. Orang awam boleh melayari laman web Hospital UiTM untuk mendapatkan maklumat lanjut." "Trend Pendidikan Era Revolusi Industri 4.0\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nEra digital memberikan tampak yang begitu besar terhadap kehidupan dewasa ini. Banyak sektor yang mengalami transformasi dan kemajuan melalui kepesatan teknologi yang wujud dalam Revolusi Industri 4.0. Pertembungan antara manusia, mesin dan sumber tenaga lain telah menjadikan teknologi maklumat dan komunikasi memberikan kesan kepada pelbagai sektor termasuklah sistem pendidikan.\nMenerusi dunia digital, penggunaan inovasi teknologi menjadikan kehidupan sosial dan amalan seharian lebih mudah daripada sebelum ini. Penggunaan teknologi telah menunjukkan kesan positif bukan sahaja terhadap gaya hidup, tetapi juga telah memberi impak kepada bidang pendidikan.\nSektor pendidikan juga dipengaruhi oleh proses pengajaran dan pembelajaran yang disokong oleh teknologi. Perkembangan sistem digital dalam pembelajaran semakin mendapat perhatian, terutamanya di peringkat pengajian tinggi. Walaupun kebanyakan tenaga pengajar di seluruh dunia masih menggunakan kaedah konvensional dalam pengajaran mereka, namun alat bantu teknologi juga sering digunakan secara efektif di dalam kelas. Penerapan elemen multimedia seperti video, audio, grafik dan teks mendedahkan pelajar kepada persekitaran pembelajaran yang menarik. Di samping itu, aplikasi laman web sebagai platform pembelajaran juga menggalakkan pembelajaran kendiri dalam kalangan pelajar.\nBerdepan dengan Revolusi Industri 4.0, sistem pendidikan berdepan dengan cabaran untuk membentuk generasi yang kreatif, inovatif dan kompetitif.\u00c2\u00a0 Perkara ini dapat dicapai melalui aplikasi teknologi sebagai medium yang menyumbang hasil yang positif mengikut arus perdana. Menurut Fisk (2017), terdapat sembilan trend pendidikan era Revolusi Industri 4.0, iaitu:\nPelajar mempunyai lebih banyak peluang untuk pembelajaran jarak jauh dan secara kendiri melalui E-pembelajaran. E-pembelajaran ialah pembelajaran secara dalam talian melalui penggunaan Internet untuk mengakses bahan pembelajaran, berinteraksi dengan kandungan, pengajar, dan rakan pelajar\nPelajar menggunakan bahan bantu pembelajaran atau peralatan yang bergantung kepada kemahiran pelajar dalam sesi pembelajaran. Pelajar yang menghadapi kesukaran dalam mata pelajaran akan mendapat peluang untuk menyelesaikan lebih banyak latihan sehingga mereka dapat mencapai tahap prestasi yang diperlukan. Pelajar juga disediakan dengan latihan pengukuhan semasa proses pembelajaran secara kendiri berlangsung. Hal ini dapat menghasilkan pengalaman pembelajaran yang positif dan mengurangkan jumlah pelajar yang hilang motivasi diri terhadap kemampuan akademik mereka.\nWalaupun setiap mata pelajaran yang diajar bertujuan untuk mencapai objektif yang sama, namun kaedahnya menjurus kepada objektif tersebut yang pelbagai. Pengalaman pembelajaran yang berorientasikan individu akan mengubahsuai proses pembelajaran pelajar melalui penggunaan bahan bantu mengajar yang diperlukan.\nPelajar dapat mengadaptasikan pembelajaran berasaskan projek melalui kaedah membina kemahiran dalam pelbagai situasi. Pembelajaran ini termasuklah kemahiran pengurusan, kolaborasi dan pengurusan masa.\nKemajuan teknologi menjaminkan pembelajaran tertentu secara efektif, memberikan lebih banyak peluang ke arah membina kemahiran yang melibatkan pengetahuan pelajar dan interaksi secara bersemuka. Peluang pengalaman akan dipraktis oleh pelajar melalui kursus atau latihan membina kemahiran sebelum memasuki alam pekerjaan..\nPerkembangan teknologi komputer telah mengambil alih tugas analisis yang bleh dilaksanakan secara manual dan cepat. Pelajar perlu mempunyai kecekapan untuk menerap pengetahuan tentang teori kepada angka dan menggunakan kemahiran mereka untuk membuat rumusan berdasarkan logik dan data semasa.\nHal ini merujuk pengukuran kemahiran pelajar melalui teknik penilaian secara konvensional seperti soal jawab yang dilihat sebagai tidak lagi relevan. Penilaian seharusnya dilakukan berdasarkan perubahan, pengetahuan, fakta dan penerapan pengetahuan yang dapat diuji.\nKeterlibatan pelajar perlu dipertimbangkan dalam reka bentuk dan perancangan kurikulum yang lebih kontemporari, mutakhir dan bermutu tinggi.\nMembantu dan memberikan panduan kepada pelajar penting untuk menjadikan pelajar itu lebih berdikari. Pementoran adalah asas kepada kejayaan pelajar. Pelajar memerlukan tenaga pengajar sebagai fasilitator yang akan membimbing melalui melalui proses pembelajaran mereka.\n\u00a0\nTenaga pengajar berperanan penting memberi galakan kepada pelajar berkaitan perubahan pendidikan yang mengejar Revolusi Industri 4.0. Pelajar perlu beradaptasi dengan lebih cepat dan cekap akan perubahan ini. Hal ini akan membina mereka sebagai individu yang lebih berkompetensi, berkemahiran, berpengetahuan dan penuh potensi diri." "Makna Besar Sokongan Indonesia kepada Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN dan Bahasa Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSokongan Presiden Indonesia, Bapak Joko Widodo menambah peluang untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN dan bahasa di peringkat antarabangsa. Persetujuan dan sokongan serta janji untuk bergerak bersama-sama dalam pertemuan Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Indonesia pada hari ini di Jakarta cukup besar maknanya. Indonesia memiliki jumlah terbesar penutur bahasa Melayu, iaitu lebih 250 juta orang walaupun menggunakan nama bahasa Indonesia.\nSelama ini, usaha kerjasama serantau melalui Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) telah berlangsung (MABBIM sejak tahun 1972 dan MASTERA sejak tahun 1995). Cadangan Perdana Menteri Malaysia itu merupakan kesinambungan dan peningkatan usaha yang telah puluhan tahun dimulakan di peringkat serantau dan Indonesia memang menjadi sahabat seperjuangan sejak hampir 50 tahun lalu.\nUsaha penyatuan negara serantau (ASEAN) melalui faktor bahasa sangat besar ertinya. Bahasa Melayu yang mempunyai 300 juta orang penutur yang turut dituturkan di Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Thailand, Filipina, Kampuchea, Laos, Vietnam, Myanmar dan Timor Leste. Nama bahasa Indonesia didasarkan pada proses pembinaan jati diri negara itu tetapi bahasa Indonesia berakar daripada bahasa Melayu walaupun kemudian melalui perkembangan sejarah yang berlainan. Dalam semua forum kerjasama serantau dan antarabangsa, kedua-dua dialek besar bahasa Melayu, iaitu dialek Indonesia dan dialek Melayu di negara lain, termasuklah Malaysia, disebut sebagai bahasa Melayu-Indonesia.\nIsu itu tidak perlu ditimbulkan dan dibesar-besarkan, kecuali ada niat pihak tertentu ingin menggagalkan usaha itu. Dengan paduan semua negara berbahasa Melayu dan negara lain yang mempunyai penutur bahasa Melayu, cadangan mengangkat bahasa Melayu (sebagai bahasa supranasional yang merentas sempadan geopolitik) dapat dan patut diusahakan menjadi bahasa rasmi ASEAN, dengan permulaannya sebagai bahasa rasmi kedua." "PKD Layang-Layang sebagai Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKluang \u2013 Timbalan Menteri II, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Yang Berhormat Datuk Haji Hasbi Habibollah telah merasmikan Ruang Reka Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) Keluarga Malaysia di Pusat Komuniti Desa (PKD) Layang-Layang, Kluang, Johor semalam.\nRuang Reka STIE Keluarga Malaysia di PKD Layang-Layang yang keempat dibangunkan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), selaku agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ini ialah fasiliti kemudahan yang menyediakan platform hab reka cipta, teknologi dan inovasi kepada komuniti. Pembangunan Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia di sini juga merupakan hasil kerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn dan Pusat Komuniti Desa Layang-Layang melalui model Quintuple Helix, iaitu gabungan antara kerajaan, industri, akademia, masyarakat dan alam sekitar.\nMenurut Yang Berhormat Datuk Haji Hasbi Habibollah, pelaksanaan STIE membolehkan PKD Layang\u2013Layang dipilih sebagai PKD rintis dalam pelaksanaan projek STIE Keluarga Malaysia dengan menggunakan ruang PKD dan pembekalan kelengkapan peralatan dan aplikasi teknologi STIE.\nProgram pembudayaan STIE ini memberikan manfaat kepada masyarakat setempat dengan menggarap idea kreatif dan menyuntik elemen inovatif, khususnya dalam kalangan belia luar bandar. Komuniti luar bandar yang berkemahiran STIE juga dapat menjana pendapatan dan pekerjaan melalui aktiviti pembangunan prototaip produk inovasi ke peringkat prakomersilan dan mereplikasi projek inovasi kepada komuniti lain.\nPelaksanaan Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia bertujuan untuk membudayakan STIE serta membantu meningkatkan kemahiran penciptaan inovasi berkualiti dalam kalangan masyarakat. Ruang Reka ini memberikan peluang kepada masyarakat setempat berkumpul dan berinovasi dengan menggunakan teknologi sedia ada seperti pencetak 3D, robotik, dron dan peralatan lain secara praktikal. Hal ini sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan, produktiviti dan ekonomi komuniti setempat melalui olahan idea serta kreativiti yang dapat dipasarkan.\nTurut hadir dalam majlis ini ialah, Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Seri Zainal Abidin Abu Hassan dan Ketua Setiausaha KPLB, Dato\u2019 Ramlan Harun.\n(Sumber: Facebook MOSTI)" "KASA Bangunkan Penilaian Risiko Bencana Banjir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang melaksanakan penilaian risiko bencana banjir berdasarkan unjuran perubahan iklim melalui inisiatif peta hazard banjir dan peta risiko banjir di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).\nMenteri Alam Sekitar dan Air, Yang Berhormat Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penilaian risiko bencana banjir tersebut merangkumi 36 lembangan sungai utama.\n\u201cPeta hazard banjir bagi enam lembangan sungai di Lembah Klang dan peta risiko banjir bagi lembangan Sungai Bernam juga telah siap dibangunkan. Pembangunan peta hazard banjir dan peta risiko banjir ini dijangka siap pada tahun 2024,\u201d katanya lagi\nBeliau menjawab soalan Dato\u2019 Mohd. Nizar Haji Zakaria dalam Parlimen ke-14 di bangunan Parlimen hari ini berkaitan dengan pendekatan KASA dalam menangani perubahan iklim yang drastik, terutamanya bencana alam pada masa akan datang dan tahap kesiapsiagaan sistem amaran bencana di Malaysia.\nJabatan dan Agensi di bawah KASA seperti JPS dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sentiasa peka dan berusaha untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana seperti banjir. KASA sentiasa bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku urus setia Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara Nombor 20.\nBeliau turut menyatakan bahawa hebahan maklumat cuaca dan banjir serta amaran awal kepada pasukan penyelamat akan ditambah baik dan penyelarasan bersama-sama pemegang taruh akan dipertingkat.\n\u201cDi bawah Rancangan Malaysia Kesebelas dan Rancangan Malaysia Keduabelas, MET Malaysia sedang memasang lapan buah stesen radar baharu, iaitu di Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah, dan Sarawak sebagai tambahan kepada 11 buah stesen radar sedia ada. Pemasangan ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2022,\u201d ujarnya lagi.\nJPS juga telah melaksanakan Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRABN) yang memberi amaran awal kepada agensi berkaitan dengan pengurusan bencana dan orang awam. Siren akan dibunyikan apabila aras air melepasi nilai ambang tertentu untuk memberi amaran awal kepada penduduk setempat.\nKatanya lagi, melalui program ini, ramalan banjir boleh diketahui seawal tujuh hari dan amaran banjir akan dikeluarkan seawal dua hari bagi lokasi yang dijangka banjir. Setakat ini, sistem ini telah beroperasi di lembangan Sungai Pahang, Kelantan dan Terengganu dengan ketepatan 65 peratus." "Kerajaan Salur Peruntukan bagi Kerja Mengurangkan Risiko Banjir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah\u00a0menyalurkan peruntukan bagi membantu kerajaan negeri melaksanakan kerja untuk mengurangkan risiko banjir.\nMenteri Alam Sekitar dan Air, Yang Berhormat Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan bahawa Projek Pemuliharaan Sungai untuk Mengurangkan Risiko Banjir telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) mengikut negeri sebagai langkah mitigasi jangka pendek dan sederhana untuk mengurangkan risiko banjir.\nPada tahun 2022, sebanyak 15 kerja yang dirancang telah dilaksanakan di Kuala Krai dengan anggaran kos sebanyak RM1.1 juta\nBeliau menjawab soalan Tuan Abdul Latiff Abdul Rahman (Kuala Krai) mengenai rancangan KASA untuk mengawal banjir besar di Kelantan, khususnya di Kuala Krai melalui kawalan air di hulu Sungai Nenggiri dan Sungai Lebir.\nTambah beliau, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1 secara reka dan bina sebagai perancangan jangka masa panjang.\n\u201cProjek ini telah bermula pada 29 Januari 2018 dengan kos siling sebanyak RM699 juta. Status projek terkini adalah sebanyak 75 peratus,\u201d katanya lagi.\nBeliau berkata, JPS juga akan memohon projek PLSB Sungai Kelantan Fasa 2 yang melibatkan komponen Empangan Lebir di bawah RMKe-12 yang menyumbang sebanyak 60 peratus banjir di Kelantan.\n\u201cKASA melalui Bahagian Bekalan Air juga menjalankan Kajian Pembangunan Sumber Air Negeri Kelantan (Fasa 2). Kajian ini untuk mengkaji potensi pembangunan sumber air permukaan di lembangan sungai negeri Kelantan sebagai cadangan pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS)\u201d\nBeliau berkata, pembinaan TAPS ini boleh disepadukan dengan perancangan tebatan banjir dengan mengambil kira keperluan takungan semasa banjir dalam reka bentuk TAPS. TAPS yang mempunyai ruang takungan tambahan boleh menampung lebihan aliran banjir. Reka bentuk TAPS juga perlu disesuaikan supaya kualiti air yang dialirkan ke loji rawatan air tidak terjejas.\n\u201cSebanyak RM650 juta telah dimohon di bawah Rolling Plan Ketiga RMKe-12 bagi pembinaan TAPS dan kerja yang berkaitan di Kampung Pangkal Mak Wan, Machang, Kelantan. Hal ini tertakluk kepada kelulusan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan,\u201d ujarnya lagi." "MOSTI Sasar Pengkomersialan 500 Produk Menjelang 2025\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Yang Berhormat Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY Summit) 2021 semalam.\n\nDalam ucapan perasmiannya, beliau mengumumkan sebanyak 434 produk, teknologi dan perkhidmatan MCY telah berjaya dikomersialkan sepanjang tahun 2016 hingga tahun 2021 ke pasaran tempatan dan antarabangsa dengan nilai jualan melebihi RM476 juta.\nMOSTI menyasarkan untuk mengkomersialkan sebanyak 500 produk, teknologi dan perkhidmatan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan di bawah MCY 3.0 2020 \u2013 2025 yang bertemakan MCY ke Peringkat Global\nSidang kemuncak tahunan ini dianjurkan untuk mengiktiraf pencapaian penyelidik dan usahawan teknologi tempatan yang telah berjaya mengkomersialkan produk hasil R&D di pasaran tempatan dan antarabangsa pada tahun semasa.\nDalam majlis tersebut juga, sebanyak sembilan orang penyelidik dan usahawan tempatan turut diraikan menerusi Anugerah MCY kerana telah mengkomersialkan produk R&D mereka di pasaran tempatan dan antarabangsa sepanjang tahun 2021.\nDalam majlis yang sama, Menteri MOSTI turut melancarkan buku mewah mengenai program Pemangkin Usahawan Sosial Hebat (PUSH).\nPUSH ialah program rintis kejayaan yang bertujuan meningkatkan kualiti kehidupan golongan B40 melalui pemerkasaan perusahaan sosial.\n\u201cProgram inisiatif pembangunan mikro keusahawanan ini berjaya memberikan kesan kepada ekonomi negara selepas berjaya memperoleh pendapatan sebanyak RM8.07 juta, termasuk penjimatan kos kerajaan,\u201d katanya lagi.\nMCY Summit 2021 berlangsung pada 10 dan 11 Mac 2022 secara hibrid bermula daripada pukul 9.00 pagi hingga pukul 5.00 petang melalui laman Facebook MOSTI dan laman web https://mycsummit.mosti.gov.my. Sepanjang dua hari tersebut, pelbagai program akan diadakan merangkumi Majlis Anugerah MCY, Sesi Pertukaran Memorandum Persefahaman atau Perjanjian, Pelancaran Produk, Pameran Maya, Sesi Webinar dan lain-lain.\nTurut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.\n(Sumber: Facebook MOSTI)" "Fasa Peralihan Monsun Bermula 14 Mac 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Malaysia akan mengalami Fasa Peralihan Monsun yang dijangka bermula pada 14 Mac dan berterusan hingga pertengahan bulan Mei.\nMenurut\u00a0Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah, permulaan fasa peralihan tersebut menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut yang bermula sejak 3 November 2021.\nSemasa Fasa Peralihan Monsun ini, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir. Keadaan ini lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat.\nMunurutnya lagi, kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.\n\u201cKeadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,\u201d jelasnya menerusi kenyataan media METMalaysia hari ini.\nOrang ramai dinasihatkan lebih berwaspada semasa tempoh ini serta sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikelaurkan oleh METMalaysia. Orang ramai juga boleh menghubungi talian utama METMalaysia melalui nombor 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.\n(Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia, Kementerian Alam Sekitar dan Air)" "Inisiatif Penternakan Ikan Keli Lestari\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPertambahan permintaan terhadap makanan meningkat seiring dengan peningkatan jumlah penduduk di Malaysia. Bekalan makanan yang tidak mencukupi bagi kegunaan tempatan telah menyebabkan Malaysia terpaksa mengimport makanan dari luar negara. Bagi mengurangkan kadar kebergantungan terhadap makanan dari negara luar, industri makanan tempatan perli dipertingkat bagi memenuhi permintaan sedia ada. Pada masa yang sama, sumber makanan keluaran tempatan perlulah mudah didapati, berkualiti dan dapat dibeli dengan harga yang berpatutan.\nPenternakan ikan air tawar adalah satu daripada cara usaha untuk memenuhi permintaan tempatan bagi menggantikan bekalan ikan daripada laut yang tidak mencukupi untuk kegunaan tempatan. Penternakan ikan air tawar di negara ini telah berhasil menyumbangkan sebanyak 26 peratus kepada jumlah pengeluaran ikan bagi keperluan negara. Penternakan ikan air tawar juga telah menunjukkan jumlah peningkatan yang baik dalam memenuhi bekalan makanan negara.\nSelain itu, penternakan ikan air tawar semakin mendapat tempat di hati masyarakat tempatan. Hal ini kerana cara penternakannya yang lebih mudah, menjimatkan masa dan tenaga berbanding dengan menangkap ikan di sungai atau di laut. Hasil yang didapati daripada ternakan ikan air tawar juga lebih banyak.\nPenternakan ikan air tawar seperti ikan keli semakin mendapat permintaan yang tinggi dari masyarakat tempatan. Penternakan ikan keli bukan sahaja dapat menyumbang kepada bekalan ikan negara, malah dapat membantu menjana pendapatan bagi sesiapa yang mengusahakannya.\nDalam usaha untuk menambah pendapatan dan mendapatkan bekalan ikan yang halal, pihak Pondok Tahfiz Muhammadiyah yang terletak di Kampung Charok Tala, Sik, Kedah telah berusaha untuk menjalankan penternakan ikan keli. Namun begitu, usaha yang dijalankan ini adalah tidak sistematik dan tiada pengurusan kewangan yang teratur. Ternakan ikan keli pula diusahakan secara konvensional dan kecil-kecilan. Hal ini menyebabkan hasil ternakan tidak dapat menampung perbelanjaan pengurusan pondok tahfiz, apatah lagi dapat menjana pendapatan seperti yang diharapkan.\nBagi mengatasi masalah ini, bantuan kepakaran dari segi latihan dan bimbingan penternakan ikan keli secara lestasi amatlah diperlukan. Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Perikanan Negeri Kedah ialah organisasi yang mempunyai kepakaran tersebut. Bagi menjayakan usaha tersebut, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, USM melalui geran libatsama komuniti di bawah tajaan Badan Jaringan Industri dan Masyarakat, USM dan Jabatan Perikanan Negeri Kedah telah bersetuju untuk bekerjasama bagi membantu Pondok Tahfiz Muhammadiah meningkatkan pendapatan melalui penternakan ikan keli secara lestari.\nMelalui kerjasama ini, Pondok Tahfiz Muhammadiah berpeluang untuk mempelajari cara pengurusan kewangan dan pemasaran yang berkesan daripada penyelidik USM. Seterusnya, USM juga akan membantu pondok tahfiz tersebut untuk mempelbagaikan produk ikan keli dan menambah pendapatan sedia ada.\nSeramai tiga orang penyelidik dari tiga pusat pengajian yang berlainan terlibat dalam menjayakan program ini. Program yang diketuai oleh Dr. Wan Afezah Wan Abdul Rahman dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Dr. NorKhalidah Abdul Hamid dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat, dan Dr. Siti Rohaya Yahya dari Pusat Pengajian Seni telah bersetuju untuk berganding bahu bagi menjayakan program ini. Peserta yang terlibat dalam program ini terdiri daripada tenaga pengajar, pelajar tahfiz dan penduduk berdekatan yang berminat untuk menjana pendapatan melalui ternakan ikan keli secara lestari.\nSebagai persediaan, kumpulan penyelidik telah mengadakan perbincangan dengan pihak pondok tahfiz tentang cara mengekalkan kelestarian di kawasan pondok tersebut tanpa merosakkan sungai yang sedia ada. Berdasarkan pelan yang telah dibuat, paip yang panjang akan dipasang bagi melepaskan air kumbahan ikan keli ke dalam paya di kawasan yang dipenuhi pokok. Hal ini dilakukan untuk mengurangkan kesan pencemaran daripada sisa kumbahan ikan keli. Air untuk ternakan ikan keli ini pula akan diambil dari sungai yang mengalir dalam kawasan pondok tahfiz dengan menggunakan pam elektrik.\nPasir dan batu kecil telah ditambak di kawasan penyediaan tapak ternakan untuk mengelakkan kawasan tersebut menjadi lecak. Hal ini disebabkan oleh tanah di kawasan tahfiz terdiri daripada tanah merah. Apabila hujan turun dengan lebat, kawasan tersebut akan menjadi sangat lecak dan berselut. Disebabkan keadaan ini, pihak tahfiz telah membuat keputusan untuk membina tapak yang lebih tinggi untuk pemasangan tangki ikan keli.\nPihak USM telah membekalkan empat tangki bagi proses penternakan ikan keli. Sebanyak 3000 ekor anak ikan anak ikan telah dilepaskan secara perlahan-lahan ke dalam tangki yang telah disediakan. Paras air di dalam tangki juga sentiasa dipantau dengan teliti.\nPeserta program telah diberi penerangan cara penjagaan dan penternakan ikan keli secara lestari tanpa menjejaskan keadaan alam semula jadi. Hal ini penting untuk menjaga ekosistem semula jadi di kawasan tersebut supaya tidak tercemar. Peserta program juga telah diberikan latihan dan tunjuk ajar cara untuk memproses makanan ikan dengan menggunakan daun betik.\nPihak Jabatan Perikanan juga telah memberikan sebanyak 6000 ekor benih anak ikan kepada Pondok Tahfiz Muhammadiah sebagai tanda menyokong usaha ini. Pihak USM juga membantu dalam membiakkan tanaman rumput air yang dikenali sebagai Azolla dan Wolfia sebagai makanan tambahan bagi ikan keli. Peserta program terlibat juga diberikan tunjuk ajar cara menguruskan kewangan dan memasarkan ikan keli dengan menggunakan teknik pembungkusan dan pemasaran yang berkesan.\nDr. Wan Afezah Wan Abdul Rahman ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia." "Benih Padi IS22: Penyelidikan Baharu Agensi Nuklear Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 \u201cKementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Nuklear Malaysia perlu menjalankan penyelidikan bagi penghasilan benih padi yang berdaya tahan tinggi jika ditenggelami air, khususnya apabila berlaku banjir,\u201d kata Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob semasa Majlis Penyerahan Benih Padi IS21 kepada petani dan pesawah di Endau, Mersing.\nMenteri MOSTI, Yang Berhormat Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba menyambut baik permintaan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ke arah komitmen kerajaan bagi membantu petani dan pesawah agar tidak rugi jika tanaman mereka terjejas berikutan cuaca ekstrem yang tidak menentu.\nMenurut beliau, Agensi Nuklear Malaysia telah memulakan penyelidikan bagi menghasilkan varieti benih padi yang ditambah baik. Varieti baharu benih padi ini diberi nama IS22. Agensi Nuklear Malaysia sentiasa proaktif mencari pelbagai kaedah penambahbaikan dengan menggunakan teknologi nuklear dan sentiasa bertindak berdasarkan isu perubahan cuaca global.\nPenyelidikan yang dilakukan bagi tujuan penyelidikan benih padi IS22 ini adalah dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Pertanian Malaysia dan Universiti Teknologi MARA serta bantuan teknikal daripada Badan Tenaga Atom Antarabangsa dan Agensi Tenaga Atom Jepun di bawah platform Forum Nuclear Cooperation in Asia.\nTambahnya lagi, Agensi Nuklear Malaysia juga sedang menjalankan penyelidikan padi tahan kemarau yang juga dilaksanakan pada tahun ini dengan menggunakan padi tradisional wangi hitam diaruh mutasi dengan menggunakan alur ion (ion beam) khidmat sinaran yang diperoleh daripada Quantum and Radiological Science and Technology (QST).\nMengulas lanjut tentang hal ini, beliau juga menyatakan bahawa kajian ini mungkin mengambil masa beberapa tahun dan memerlukan dana penyelidikan sebelum satu varieti yang berpotensi dihasilkan untuk kegunaan petani dan pesawah." "Utamakan Penjagaan Buah Pinggang \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Bersempena dengan Kempen \u201cPerlis Hebat: Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Tindakan\u201d oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis bagi memperingati \u201cHari Buah Pinggang Sedunia\u201d yang disambut pada 10 Mac setiap tahun, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kepada masyarakat akan peri pentingnya penjagaan buah pinggang untuk kelangsungan hidup.\nMenerusi kempen tersebut yang bertemakan \u201cKesihatan Buah Pinggang untuk Semua\u201d, lapan perkara dititikberatkan dalam titah baginda untuk penjagaan buah pinggang, iaitu:\n1.\u00a0 Sentiasa mengamalkan gaya hidup yang aktif;\n2.\u00a0 Sentiasa memantau tahap gula di dalam darah;\n3.\u00a0 Sentiasa memantau tekanan darah;\n4.\u00a0 Makan secara sihat dan memantau berat badan;\n5.\u00a0 Mengekalkan pengambilan air yang secukupnya;\n6.\u00a0 Tidak merokok;\n7.\u00a0 Tidak mengambil ubat-ubatan yang tiada kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia; dan\n8. Memeriksa tahap kesihatan buah pinggang dengan mengunjungi klinik kesihatan secara berkala.\nKempen ini diadakan bersekali dengan dengan program \u201cKayuhan MAIPs Peduli kali ke 19 bagi tahun 2022 yang diadakan khas bersama-sama Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis\u201d. Sebanyak tiga orang asnaf terpilih disantuni oleh DYTM Tuanku Raja Muda di rumah mereka, iaitu Halila Kamaruddin, Ramli Senapi dan Hat Seman bagi menyampaikan agihan zakat MAIPs.\n\nDalam kempen kesedaran tentang penjagaan buah pinggang ini, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Sirajuddin Hashim memaklumkan bahawa hari peringatan tersebut diadakan saban tahun untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya buah pinggang kepada manusia. Menurut Dr. Sirajuddin, kos keseluruhan rawatan buah pinggang setahun untuk seseorang individu adalah tinggi, iaitu mencecah RM40 000. Kos ini melibatkan perbelanjaan untuk penghidap menjalani dialisis yang dianggarkan berjumlah RM250 sehingga RM280 bagi setiap kali dialisis dilakukan di pusat hemodialisis milik persendirian. Harga ini lebih rendah sekiranya dilakukan di pusat hemodialisis yang diuruskan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).\nTambah Dr. Sirajuddin lagi:\nDi Negeri Perlis sahaja, terdapat empat buah pusat dialisis swasta yang merawat seramai 180 orang pesakit. Manakala di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dalam bangunan wakaf yang disumbangkan melalui MAIPs, seramai 96 orang pesakit sedang dirawat dengan dialisis buah pinggang. Dalam masa yang sama, terdapat seramai 51 orang yang\u00a0 menunggu untuk mendapatkan slot dialisis sepanjang tempoh bermula April 2020 sehingga Februari 2022. Jumlah ini semakin bertambah pada kadar 18% hingga 20% setahun. Sementara menunggu giliran, 17 orang atau 31% orang meninggal akibat komplikasi penyakit buah pinggang, selebihnya 34 orang berjaya dimasukkan secara berperingkat. Hal ini amat membimbangkan dan perlu dibendung dan seboleh\u2013bolehnya dicegah di peringkat awal lagi.\nSelain kempen kesihatan dan menyantuni golongan asnaf, \u00a0DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan singgah menyempurnakan perasmian Dataran Sekolah Kebangsaan Panggau dan menanam pokok di laman tersebut." "MATRADE Bantu Memasarkan Produk ke Pasaran Global\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebuah webinar bertajuk \u201cBringing Malaysia\u2019s Product and Services to the Global Market by MATRADE\u201d bersempena dengan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia telah diadakan secara langsung menerusi media sosial Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Sesi perkongsian ini berkaitan dengan peranan dan fungsi Malaysia Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), faedah yang diperoleh oleh syarikat Malaysia yang berdaftar sebagai ahli MATRADE dan kepentingan Alat Penilaian Kesediaan Eksport atau Export Readiness Assessment Tool (ERAT) bagi tujuan kemudahan eksport untuk perkembangan syarikat.\nMATRADE merupakan sebuah agensi promosi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang membantu pasaran eksport di samping memberikan bantuan kepada syarikat Malaysia dalam mengembangkan perniagaan pada peringkat global. Agensi yang ditubuhkan sejak bulan Mac 1993 ini, beroperasi di 46 buah pejabat perdagangan di seluruh dunia dan lima buah pejabat wilayah di Malaysia, iaitu di wilayah utara (Pulau Pinang), wilayah timur (Kuala Terengganu), wilayah selatan (Johor Bahru), Sarawak (Kuching), dan Sabah (Kota Kinabalu).\nMenurut Encik Nor Azman Adam, Pengurus Unit Khidmat Nasihat Pengeksport, MATRADE, usahawan Malaysia layak menggunakan kemudahan pejabat MATRADE di luar negara secara percuma. Pada tahun 2022, MATRADE akan melaksanakan 54 acara bagi membantu para usahawan MATRADE. Beliau juga memaklumkan bagi menjadi syarikat yang berkelayakan untuk mengeksport, usahawan harus bersedia dari segi pendokumentasian, pengetahuan pemasaran dan produk.\nTambah beliau lagi, bagi usahawan yang ingin mendaftar di bawah MATRADE, pendaftaran adalah percuma. Pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian menerusi laman web MATRADE. Sekiranya para usahawan berasa ragu-ragu tentang kesediaan mereka untuk mengeksport produk mereka ke luar negara, usahawan boleh menjalankan ujian ERAT di pautan www.matrade.gov.my/erat, iaitu sebuah sistem dalam talian untuk mengukur potensi atau prospek sesuatu produk atau perkhidmatan. Terdapat 23 perkara yang meliputi produk dan syarikat yang akan ditanyakan kepada usahawan dalam sesi pengujian ini.\nPelbagai kemudahan boleh dinikmati oleh usahawan MATRADE di bawah kemudahan eksport seperti eTRADE, Market Development Grant (MDG) dan Service Export Fund (SEF). Semua insentif ini dapat membantu kelancaran urusan eksport produk usahawan Malaysia ke luar negara. Para pegawai MATRADE juga bersedia mengumpulkan pelibatan pelbagai agensi eksport yang lain bagi membantu usahawan mendapatkan pelbagai maklumat berkenaan dengan eksport. Produk usahawan yang berdaftar dengan MATRADE juga akan dimasukkan ke dalam produk Malaysia atau direktori perkhidmatan dan dijadikan sebagai rujukan rasmi kepada bakal pelabur yang berpotensi di luar negara.\nJelas beliau lagi, para usahawan boleh melayari portal MyExport di pautan https://myexport.matrade.gov.my bagi mendapatkan maklumat seperti pendaftaran ahli MATRADE, program MATRADE di luar negara, kursus yang ditawarkan, kajian pemasaran, maklumat pemasaran, dan sebagainya. Diharapkan para usahawan Malaysia dapat menyahut cabaran untuk mengeksport produk mereka ke luar negara dengan mengambil inisiatif berdaftar dengan MATRADE untuk mendapatkan pelbagai kemudahan yang disediakan." "Mendepani Kesan Sampingan Kimoterapi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKanser ialah penyakit tidak berjangkit dan merupakan penyebab kematian kedua tertinggi di dunia selepas penyakit berkaitan jantung. Di Malaysia, bilangan kes kanser dijangkakan meningkat sebanyak dua kali ganda pada tahun 2040, berbanding dengan bilangan terkini, iaitu sekitar 48 000 kes setahun. Mengikut statistik daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada tahun 2020, Malaysia merekodkan bilangan kes kanser kanser payudara sebanyak 32.9 peratus bagi wanita dan kanser paru-paru dalam kalangan lelaki dengan 17 peratus.\nPunca sebenar kepada pembentukan sel kanser sukar ditentukan. Walau bagaimanapun, beberapa faktor risiko penting yang telah dikenal pasti termasuklah gaya pemakanan, merokok dan obesiti. Selain itu, sejarah kesihatan ahli keluarga yang mempunyai masalah penyakit kanser turut menjadi faktor seseorang itu berisiko lebih tinggi untuk mendapat kanser yang sama.\nSel kanser bersifat aktif, membiak tanpa kawalan dan melangkaui arahan pengaturcaraan yang biasa digunakan oleh sel normal. Oleh sebab perkembangan sel di luar kawalan ini, ketulan yang terbentuk akan membesar dan menggunakan sumber makanan yang diperlukan oleh sel normal.\nKetulan yang semakin membesar tersebut akan menyebabkannya menekan sel normal yang berada di sekeliling. Hal ini menghalang pengaliran oksigen serta nutrien dan seterusnya menyebabkan kematian sel normal lain. Selain itu, pembesaran yang di luar kawalan ini juga menekan bahagian tubuh lain yang menyebabkan seseorang itu berasa sakit. Disebabkan oleh rasa sakit ini hanya mula datang pada ketika ketulan telah membesar dengan signifikan, hal inilah yang menyebabkan seseorang itu lewat didiagnosis sebagai kanser pada tahap tiga atau empat.\nApabila seseorang itu didiagnosis menghidap kanser, pelbagai perkara perlu difikirkan, termasuklah pilihan bentuk dan jenis rawatan yang akan diambil. Bergantung kepada jenis dan tahap kanser yang dialami, doktor akan memberikan penerangan berkenaan rawatan dan keberkesanan bagi setiap pilihan.\nTerdapat pelbagai jenis rawatan yang digunakan di hospital untuk merawat kanser. Antara rawatan utama bagi kanser ialah pembedahan, kemoterapi dan radioterapi. Pendekatan rawatan juga boleh diambil melalui kombinasi beberapa jenis kaedah dan bergantung pada tahap penyakit dan organ yang terlibat.\nSusunan urutan kaedah yang digunakan juga mungkin berbeza-beza mengikut keadaan pesakit. Sebagai contohnya, dalam kes tertentu, rawatan mungkin dimulakan dengan kemoterapi untuk mengecutkan ketulan kanser, diikuti dengan pembedahan untuk membuang ketulan itu secara keseluruhannya. Dalam kes lain pula, rawatan boleh dimulakan dengan pembedahan untuk membuang ketulan yang kelihatan, diikuti dengan rawatan radioterapi dan/atau kemoterapi untuk memastikan semua sel yang tertinggal dimusnahkan.\nPembedahan yang dijalankan bagi rawatan kanser bertujuan membuang sebanyak mungkin ketulan kanser daripada organ yang terlibat. Namun demikian, dalam sesetengah keadaan, masih terdapat sel kanser yang tertinggal di kawasan yang terlibat, terutamanya disebabkan oleh sel kanser yang bersaiz kecil dan terletak lebih jauh daripada ketulan utama. Dalam keadaan ini, teknik kedua radioterapi, kemoterapi atau kombinasinya diperlukan untuk memastikan semua sel kanser dimusnahkan.\nRadioterapi merupakan kaedah rawatan menggunakan radiasi untuk memusnahkan sel kanser. Teknik ini merupakan kaedah tersasar (targeted), iaitu sinaran radiasi akan dihalakan terus kepada lokasi kanser tersebut tanpa mengganggu bahagian tubuh yang lain.\nKemoterapi merujuk ubat-ubatan yang digunakan untuk memusnahkan sel yang aktif dan pantas berkembang di dalam tubuh. Penggunaan kemoterapi ini sangat meluas dalam kalangan pesakit kanser. Ubat yang digunakan mungkin berbeza-beza dan bergantung kepada jenis kanser yang dialami pesakit. Kesan sampingan kemoterapi merupakan perkara yang amat dikhuatiri oleh pesakit kanser. Pelbagai persoalan yang timbul berkenaan kesan sampingan selepas kemoterapi menyebabkan kebanyakan pesakit takut dan berasa khuatir terhadap kualiti hidup yang akan terjejas sepanjang proses rawatan.\nAntara kesan sampingan yang sering dilaporkan akibat kemoterapi ialah keguguran rambut yang serius, pecah-pecah di dalam mulut, sistem imun menjadi lemah, hilang selera makan dan lain-lain. Kesan sampingan bergantung kepada jenis ubat yang digunakan dan tidak berlaku kepada semua pesakit. Mengapakah kesan sampingan ubat-ubatan kemoterapi sangat menakutkan?\nSel kanser bersifat aktif. Di samping sel kanser, terdapat beberapa jenis sel lain dalam tubuh yang turut bersifat aktif seperti sel rambut, sel imun, sel pembiakan dan lain-lain. Pemberian ubat kemoterapi selalunya dibuat melalui laluan sistemik, iaitu pemberian ke seluruh badan melalui saluran darah atau melalui mulut. Pemberian melalui laluan sistemik ini akan membawa ubat tersebut ke seluruh badan dengan melalui sel yang normal hingga bertemu dengan sel kanser untuk dimusnahkan. Namun begitu, disebabkan ubat-ubatan tersebut tidak dapat mengenali sel kanser secara spesifik, sel normal yang aktif membiak turut sama mendapat kesan toksik ubat tersebut dan dimusnahkan.\nDisebabkan oleh itu, antara kesan sampingan yang biasa dialami oleh pesakit semasa rawatan kemoterapi ialah kehilangan rambut yang signifikan, kadang kala sehingga menjadi botak. Selain itu, kesan terapi ini kepada sel imun yang sihat menyebabkan pesakit mudah demam dan/atau mendapat jangkitan kuman akibat penurunan sistem pertahanan tubuh. Sistem pembiakan mungkin turut terganggu yang mengakibatkan kesuburan pesakit boleh menurun akibat kemoterapi.\nNamun demikian, kesan sampingan akibat kemoterapi ini boleh diatasi dan dirawat dengan berkesan. Bagi sesetengah kesan sampingan seperti kehilangan rambut dan penurunan kesuburan, kesan tersebut boleh kembali kepada keadaan normal selepas rawatan dihentikan. Hal ini juga bergantung kepada keadaan individu pesakit. Justeru, pemantauan rapi semasa tempoh rawatan amat penting untuk memastikan kesan sampingan terhadap sel normal ini adalah terkawal.\nWalau pun rawatan kanser mengundang rasa takut dalam diri pesakit, rawatan ini perlu dilakukan untuk mengawal dan mengelakkan keadaan pesakit menjadi lebih teruk. Semua jenis rawatan kanser yang disarankan oleh WHO dan Kementerian Kesihatan Malaysia ini merupakan rawatan yang telah terbukti berkesan. Dengan pemantauan yang rapi, kualiti hidup pesakit akan dapat dipelihara sebaik-baik mungkin sepanjang rawatan diberikan.\nKajian dalam pembangunan ubat-ubatan terkini mengambil pendekatan penyampaian ubat secara tersasar atau targeted drug delivery untuk mengurangkan risiko kejadian kesan sampingan yang teruk akibat rawatan kanser. Pendekatan ini melibatkan beberapa kaedah seperti penggunaan cahaya untuk mengaktifkan ubat-ubatan, aplikasi nanoteknologi dan penggunaan molekul khas sebagai pemandu kepada ubatan kemoterapi. Penggunaan molekul pemandu ini akan membantu dalam pengenalpastian sel kanser, justeru ubat tersebut hanya akan dihantar terus kepada sel kanser tanpa merosakkan sel normal.\nPada masa hadapan, dipercayai akan terdapat lebih banyak ubat-ubatan terkini yang menggunakan kaedah penyampaian tersasar. Perkembangan rawatan kanser ini diharapkan akan meningkatkan kualiti rawatan yang diberikan dan meningkatkan peluang pesakit kanser untuk hidup normal selepas rawatan." "Analisis Frasa Nama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam bidang sintaksis, frasa ialah binaan yang terdiri daripada satu perkataan atau lebih yang dapat berfungsi sebagai konstituen dalam struktur ayat. Sila lihat contoh yang berikut:\nDalam ayat 1, terdapat dua frasa, iaitu kata nama umum buku yang menjadi frasa nama subjek dan frasa kerja berfaedah yang menjadi predikat. Dalam ayat 2, kata ganti diri tunjuk umum itu menjadi frasa nama subjek, manakala kata kerja berfaedah menjadi frasa kerja predikat. Hal ini dikatakan demikian kerana kata nama buku dan itu menduduki konstituen subjek ayat dan kata kerja berfaedah menduduki konstituen predikat.\nJika subjek dalam ayat 1 dan 2 dikembangkan, ayatnya tetap mempunyai dua frasa. Sila lihat contoh yang berikut:\nDalam ayat 3 di atas, frasa nama buku itu menduduki konstituen subjek dan dikira sebagai satu frasa, dengan kata nama am buku sebagai inti frasa nama ditambah kata ganti nama tunjuk itu sebagai penerang frasa nama. Oleh itu, ayat 3 juga terdiri daripada dua frasa. Hal ini dapat dirumuskan seperti yang berikut:\nAyat = FN subjek (Inti + Penerang) + FK predikat\nFN = buku + itu\nSesuatu frasa boleh juga menjadi komponen binaan frasa yang lebih besar.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\nDalam ayat 4, frasa nama subjek terbina daripada dua frasa nama yang lebih kecil, iaitu frasa nama buku sejarah dan frasa nama milik Ali. Hubungannya tetap terikat pada struktur Inti + Penerang. Dalam hal ini, kata sejarah ialah penerang kepada kata buku (inti), dan kata Ali ialah penerang kepada kata milik (inti).\nSelain itu, frasa milik Ali menjadi frasa penerang kepada frasa inti buku sejarah. Hubungan yang berselirat ini dapat dianalisis dalam bentuk rajah pohon (tatabahasa Transformasi-Generatif) atau mengikut analisis konstituen terdekat (Leonard Bloomfield). Sila lihat rumus yang berikut:\nAyat = FN (buku sejarah milik Ali) + FK (berfaedah)\nFN = FN1 (buku sejarah) + FN2 (milik Ali)\nFN = FN1 (frasa inti) + FN2 (frasa penerang)\nFN1 = buku (kata inti) + sejarah (kata penerang)\nFN2 = milik (kata inti) + Ali (kata penerang)\n\u00a0\nAyat 4 boleh juga dikembangkan lagi, seperti yang berikut:\n\u00a0\nDalam ayat 5 di atas, ayat terbina daripada frasa nama subjek buku sejarah Eropah milik Ali itu dan frasa kerja predikat berfaedah. Dalam hal ini, inti frasa nama (buku) diikuti oleh frasa nama penerang 1 (sejarah Eropah), frasa nama penerang 2 (milik Ali) dan kata penentu belakang (itu). Oleh itu, analisis bagai ayat tersebut adalah seperti yang berikut:\nAyat = FN + FK\nFN = buku sejarah Eropah milik Ali itu\nFK = berfaedah\nFN = Inti FN + FN Penerang 1 + FN Penerang 2 + Penentu belakang\nInti FN = buku\nFN Penerang 1 = sejarah Eropah\nFN Penerang 2 = milik Ali\nPenentu belakang = itu\n\u00a0\nDua frasa nama dapat juga wujud secara serentak atau berderetan sebagai subjek ayat. Dalam hal ini, frasa nama kedua boleh diselitkan sebagai keterangan atau maklumat tambahan secara parentesis, iaitu terpisah oleh tanda koma, tanda pisah atau tanda kurung. Sila lihat contoh yang berikut:\n6a.\u00a0 Seorang murid, ketua pengawas sekolah itu, menyampaikan ucapan.\n6b.\u00a0 Seorang murid \u2013 ketua pengawas sekolah itu \u2013 menyampaikan ucapan.\n6c.\u00a0 Seorang murid (ketua pengawas sekolah itu) menyampaikan ucapan.\n\u00a0\nAyat = FN + FK\nFN = FN1 (FN2)\nFN1 = seorang murid\nFN2 = ketua pengawas (FNa)\u00a0 +\u00a0 sekolah itu (FNb)\nFK = menyampaikan ucapan\n\u00a0\nFrasa nama kedua dengan maklumat tambahan yang diselitkan itu bersifat variasi atau alternatif frasa nama pertama. Oleh itu, frasa nama kedua boleh digugurkan atau dapat menggantikan frasa nama pertama tanpa menjejaskan struktur binaan ayat.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\n7a.\u00a0 Seorang murid menyampaikan ucapan.\n7b.\u00a0 Ketua Pengawas sekolah menyampaikan ucapan.\n\u00a0\nAda juga frasa nama yang dianggotai inti frasa nama dan frasa relatif. Sila lihat contoh yang berikut:\n8a.\u00a0 Pokok yang tinggi itu telah tumbang.\n8b.\u00a0 Pokok kelapa yang tinggi itu telah tumbang.\nDalam kelompok ayat 8 di atas, subjek ayat ialah pokok yang tinggi itu (8a) atau pokok kelapa yang tinggi itu (ayat 8b). Dalam ayat 8a, kata inti frasa nama subjek ialah pokok dan penerangnya ialah frasa relatif yang tinggi itu. Dalam ayat 8b, frasa nama inti ialah pokok kelapa dan frasa relatif penerang ialah yang tinggi itu.\u00a0 Sila lihat analisis yang berikut:\nAyat 8a\nAyat = FN + FK\nFN = inti FN + frasa penerang relatif + penentu belakang\nKata inti FN = pokok\nFrasa penerang relatif = yang tinggi\nPenentu belakang = itu\nFK = telah tumbang\n\u00a0\nAyat 8b\nAyat = FN + FK\nFN = frasa inti FN + frasa penerang relatif + penentu belakang\nFrasa inti FN = pokok kelapa\nFrasa penerang relatif = yang tinggi\nPenentu belakang = itu\nFK = telah tumbang\n\u00a0\nBinaan frasa nama biasanya terdiri daripada Inti + Penerang, menurut hukum D-M, iaitu unsur yang diterangkan (D) harus mendahului unsur yang menerangkannya (M). Walaupun demikian, ada kalanya terdapat juga kecualiannya, iaitu unsur yang menerangkan (M) mendahului unsur yang diterangkan (D). Sila lihat contoh yang berikut:\nMengikut Hukum D-M\ntayangan perdana\nmenteri muda\npusat transformasi bandar\n\u00a0\nKecualian daripada Hukum D-M\nperdana menteri\ntimbalan menteri\nibu pejabat\ndua sikat pisang\nMegat Ali" "Infrastruktur Boleh-Gubah sebagai Teknologi Infrastruktur Sumber Data Masa Hadapan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTeknologi infrastruktur boleh-gubah adalah kerangka untuk memperlakukan sumber peranti sebagai perkhidmatan dengan memisahkannya daripada sumber asal mereka. Sumber komputasi, penyimpanan dan rangkaian dipisahkan daripada lokasi sebenarnya dalam infrastruktur sumber yang dapat digabungkan dan dikendalikan oleh perisian melalui antara muka berasaskan web. Infrastruktur boleh-gubah ini menjadikan sumber pusat data dapat diakses seperti perkhidmatan awan dan berfungsi sebagai landasan bagi sistem awan persendirian serta hibrid.\nTeknologi infrastruktur boleh-gubah menggunakan pendekatan yang lebih agresif untuk penggunaan sumber dengan memasukkan teknologi interkoneksi tambahan seperti Serial Attached SCSI (SAS), suis PCI ekspres, penstrim imej, dan lapisan komposisi perisian yang berkaitan. Sekiranya perlu, semua subsistem seperti komputasi, penyimpanan dan fabrik rangkaian dianggap sebagai komponen dalam satu \u201ckumpulan sumber cecair\u201c dan \u201c" "Kerajaan Bersedia Menghadapi Fasa Peralihan Monsun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cJabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah memaklumkan tentang permulaan fasa peralihan monsun bermula pada 14 Mac 2022 dan dijangka berterusan hingga pertengahan bulan Mei 2022. Permulaan fasa ini menandakan berakhirnya monsun timur laut dan beralih ke barat daya yang telah bermula sejak 3 November 2021. Semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin\u00a0 lemah\u00a0 dari\u00a0 pelbagai\u00a0 arah\u00a0 yang menyebabkan kejadian\u00a0 ribut\u00a0 petir\u00a0 dan\u00a0 lazimnya\u00a0 membawa\u00a0 hujan\u00a0 lebat\u00a0 berserta\u00a0 angin\u00a0 kencang\u00a0 dalam\u00a0 jangka\u00a0 masa\u00a0 yang\u00a0 singkat, iaitu selama satu jam hingga tiga jam,\u201d demikian jawapan Menteri Alam Sekitar dan Air, Yang Berhormat Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika menjawab soalan daripada Yang Berhormat Dato\u2019 Haji Che Abdullah Mat Nawi (Tumpat) berkenaan dengan persediaan yang telah direncanakan oleh pihak kerajaan pada masa ini bagi menghadapi fasa peralihan monsun.\nTambah beliau, peralihan monsun ini biasanya berlaku, terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak. Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.\nTumpuan harus diberikan kepada keadaan sungai seperti fenomena arus deras, kejadian kepala air dan limpahan air sungai yang berpotensi boleh terjadi jika hujan lebat berlaku agak lama. Situasi sebegini boleh mengakibatkan banjir kilat, banjir lumpur dan kejadian tanah runtuh.\nBeliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut mengeluarkan ramalan dan amaran banjir kepada orang ramai melalui Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang kini telah beroperasi penuh di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang. Maklumat daripada PRAB juga dapat membantu pasukan penyelamat untuk merancang dan menyelaras aktiviti yang berkaitan.\nMengulas lanjut tentang hal ini, pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga telah mewujudkan satu jawatankuasa pasukan petugas bagi mengatasi masalah banjir kilat yang diketuai oleh Jabatan Kerajaan Tempatan dan dianggotai oleh pelbagai agensi seperti JPS, Jabatan Kerja Raya dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Jawatankuasa ini ditubuhkan bagi membincangkan dan mencari penyelesaian antara agensi untuk mengatasi masalah banjir kilat di kawasan yang terlibat. Jawatankuasa ini telah mengambil kira punca berlakunya banjir kilat seperti sistem perparitan yang telah uzur, rosak dan tidak sistematik.\nSeterusnya, maklumat amaran banjir, status aras air sungai dan taburan hujan di seluruh Malaysia boleh diperoleh daripada laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my dan aplikasi MyPublicInfoBanjir yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store atau Apple App Store.\nSelain itu, dari segi penyebaran maklumat dan komunikasi pula, METMalaysia menggunakan pelbagai platform untuk menyebarkan maklumat dan amaran cuaca secara terus kepada semua pemegang taruh melalui faksimili, telefon, stesen televisyen Malaysia, khidmat pesanan ringkas, laman sesawang METMalaysia, aplikasi myCuaca, media cetak, dan media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter. Maklumat daripada PRAB dan METMalaysia turut disalurkan kepada Pusat Kawalan Bencana Negara di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara untuk hebahan kepada orang awam." "KASA Laksana Pelbagai Pendekatan Tangani Banjir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cBerdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah kerugian keseluruhan akibat banjir yang berlaku di beberapa buah negeri di Malaysia pada penghujung tahun 2021 dan awal tahun 2022 bernilai RM6.1 bilion yang merangkumi kerugian kepada tempat kediaman, kenderaan, sektor pembuatan, premis perniagaan, dan sektor pertanian,\u201d demikian jawapan daripada Menteri Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Yang Berhormat Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man susulan daripada pertanyaan Yang Berhormat Tuan Nga Kor Ming (Teluk Intan) berkaitan dengan kerugian yang dihadapi oleh negara akibat banjir.\nMenurut beliau, kejadian banjir besar yang berlaku baru-baru ini telah\u00a0 merosakkan infrastruktur awam dan infrastruktur Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), termasuklah hakisan tebing sungai, kerosakan struktur hidrologi dan kolam takungan banjir yang dianggarkan berjumlah sebanyak RM640 juta.\nKASA telah menyelaras semula peruntukan dalaman sedia ada bagi kerja pembaikan demi mengurangkan impak banjir di seluruh negara. Bagi kawasan yang terjejas akibat banjir yang memerlukan penyelesaian secara menyeluruh, kementerian akan memohon peruntukan jangka masa panjang melalui Rancangan Malaysia Lima Tahun di bawah kementerian.\nTambah beliau lagi, langkah ini diambil supaya setiap pendekatan struktur dan bukan struktur bagi menangani masalah banjir dapat dilaksanakan dengan mengambil kira faktor perubahan iklim pada peringkat perancangan, reka bentuk dan pelaksanaan projek melibatkan sektor air dan infrastruktur.\nBagi persoalan tentang langkah yang diambil oleh kerajaan bagi membolehkan negara bebas daripada bencana banjir yang diutarakan, Yang Berhormat Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan bahawa jemaah menteri telah memutuskan untuk meningkatkan dan menyegerakan projek tebatan banjir dengan tambahan perbelanjaan sebanyak RM15 bilion untuk tempoh tahun 2023 hingga tahun 2030.\nSementara itu, bagi pelan induk jadual masa dengan tujuan mengurangkan risiko bencana banjir akibat perubahan iklim, KASA akan memasukkan faktor perubahan iklim dalam meningkatkan tahap perlindungan, iaitu Average Recurrence Interval (ARI) bagi setiap reka bentuk infrastruktur saliran dan pantai dari 100 tahun ARI kepada 200 tahun ARI.\nSelain itu, KASA juga telah membangunkan satu kerangka pelan mitigasi jangka panjang 50 tahun secara berfasa yang akan bermula pada tahun 2023 bagi mengurangkan impak banjir dan peningkatan aras laut. Pelan mitigasi ini melibatkan projek tebatan banjir, saliran bandar, empangan, pengambilan tanah, struktur pelindung pantai yang berupaya melindungi daripada kenaikan air laut, banjir pantai, dan luruan ribut." "Pelihara Sungai Tanggungjawab Bersama \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 \u201cPenduduk setempat perlu memainkan peranan yang amat besar dan bertanggungjawab untuk mencantikkan lagi tebing sungai masing-masing agar keindahan sungai tersebut akan membuatkan pihak lain berasa malu atau segan untuk mencemari sungai,\u201d titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri sesi kayuhan anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersempena dengan sambutan Hari Tindakan Sungai Sedunia, petang semalam.\nSebarang air sisa buangan, air basuhan dan air kumbahan perlu dirawat terlebih dahulu serta menggunakan sistem rawatan yang baik sebelum dialirkan ke sungai. Hal ini merupakan tanggungjawab yang amat besar oleh pihak berkuasa dalam memantau sebarang aktiviti yang tidak elok seperti membuang air sisa tertentu tanpa dirawat sehingga menyebabkan pencemaran tidak sihat terhadap sungai dan hidupan di dalam sungai.\nDYTM Tuanku Raja Muda Perlis juga menyampaikan agihan zakat MAIPs bernilai RM700 secara tunai, beras dan bekalan makanan mentah kepada tiga buah keluarga asnaf terpilih di sekitar Kampung Utan Aji. Para penerima yang disantuni terdiri daripada Anor Sabri Baharom, Ku Ragimi Ku Razali dan Md Basri Zakaria.\nBaginda turut berkenan merasmikan projek memproses ayam yang diusahakan oleh asnaf Kefli Saidin. Beliau menerima peruntukan Inisiatif Peningkatan Sosioekonomi Asnaf berjumlah RM3600 daripada MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) untuk membeli peralatan dan mesin memproses ayam bagi menjayakan perniagaannya.\nSementara itu, baginda turut berkenan meluangkan masa meninjau kerja pembinaan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis (Bangunan SUK Baharu), Mukim, Seriab yang dijangka siap pada 12 Julai 2022 ini." "Jalan Berlubang: Isu Lapuk Malar Berzaman\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJalan berlubang merupakan satu isu yang telah lama wujud tetapi masih malar untuk dibincangkan oleh pelbagai lapisan masyarakat. Sering terpampang di dada akhbar tempatan perihal jalan berlubang yang dikatakan menjadi punca kepada kesesakan dan kemalangan jalan raya. Kerosakan ini paling kerap ditemui di jalan luar bandar, iaitu jalan antara bandar yang lebih kecil dan penyelenggaraannya berada di bawah kawalan pihak berkuasa tempatan. Kerosakan jalan raya ini juga sering ditemui di kawasan perumahan yang mana penyelenggaraan jalan raya kurang diberikan perhatian dan lori sering melaluinya untuk membuat penghantaran ke pusat membeli-belah di kawasan tersebut.\nLubang atau lopak ialah lekukan yang terbentuk pada permukaan jalan yang biasanya dibina daripada turapan asfalt. Kepingan permukaan yang telah pecah ini akan teralih dari kedudukan asalnya disebabkan oleh kehadiran kenderaan di atas jalan. Pada kebiasaannya, adanya lubang adalah kerana kehadiran air dalam struktur tanah dasar dan lalu lintas yang melalui kawasan yang terlibat. Dalam ilmu kejuruteraan turapan, air dianggap sebagai \u201cmusuh semula jadi\u201d turapan asfalt. Hal ini bermula apabila air melemahkan tanah dasar, dan diikuti dengan kerosakan kelesuan yang disebabkan oleh lalu lintas yang memecahkan permukaan asfalt yang lemah di kawasan yang terlibat. Tambahan pula, lapisan permukaan turapan yang kurang padat juga akan membenarkan air menyusup masuk melalui rongga dan dengan tekanan yang tinggi daripada kenderaan, lama-kelamaan ikatan asfalt akan menjadi lemah dan tertanggal, dan seterusnya terbentuklah lubang.\nLubang biasanya terbentuk pada jalan yang mempunyai permukaan turapan asfalt yang nipis, iaitu sekitar 25 milimeter hingga 50 milimeter. Keadaan ini jarang-jarang berlaku pada jalan yang mempunyai permukaan turapan asfalt sekitar 100 milimeter atau lebih tebal. Tahap kerosakan jalan berlubang ini boleh dikategorikan kepada tiga jenis. Pertama, kerosakan tahap kecil, yakni luas dan kedalaman masing-masing adalah kurang daripada 0.1 meter persegi dan 25 milimeter. Kedua, tahap kerosakan teruk, yakni luas dan kedalaman masing-masing adalah melebihi 0.3 meter persegi dan 50 milimeter. Ketiga, tahap kerosakan sederhana pula berada antara kedua-dua nilai kerosakan kecil dan teruk.\nJalan berlubang mestilah diselenggara sebaik sahaja mula terbentuk. Jangan membiarkannya tanpa dibaiki kerana lubang tersebut akan menjadi kawasan kegagalan turapan lebih besar yang boleh menyebabkan kerosakan kepada kenderaan dan kos liabiliti juga tinggi. Tayar pecah, rim bengkok dan kerosakan terhadap sistem ampaian kenderaan adalah antara kerosakan yang sering terjadi disebabkan oleh jalan berlubang.\nOleh itu, tampalan pada jalan berlubang perlu dilakukan segera untuk mengelakkan berlakunya kerosakan yang lebih teruk. Tampalan merupakan proses mengisi lubang atau kawasan itu digali pada turapan asfalt. Pembaikan segera lubang atau penyepaian turapan lain membantu mencegah kemerosotan yang selanjutnya. Pembaikan turapan ini juga melibatkan kos yang tinggi. Air boleh memasuki tanah asas jika lubang tidak ditampal dan menyebabkan kegagalan turapan yang lebih serius.\nAntara bahan yang digunakan untuk tampalan ialah asfalt campuran panas, campuran emulsi asfalt biasa dan terubah suai polimer. Tampalan yang terdiri daripada campuran panas dianggap sebagai pembaikan kekal dan dapat bertahan hingga 12 bulan pada sekitar satu per tiga kos tahunan per tan bahan. Asfalt campuran panas mestilah dipastikan agar cukup panas kerana kualiti campuran akan menurun jika suam atau sejuk sekali gus menjadikan tampalan tidak berkualiti, dan seterusnya akan cepat tercabut atau pecah. Pembaikan ini perlu dilakukan mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak penguasa bagi mengelakkan kerosakan berulang dalam jangka masa pendek.\nPembaikan kecemasan lubang jalan biasanya melibatkan penggunaan bahan asfalt campuran sejuk dalam keadaan persekitaran yang teruk. Pembaikan jenis ini dianggap sebagai pembaikan sementara dan berfungsi sebagai langkah perlu dilaksanakan bagi membolehkan lalu lintas bergerak hingga pembaikan tetap dapat dilakukan. Tampalan ini cepat dan murah, tetapi tahan lama antara satu bulan hingga dua bulan. Walau bagaimanapun, ketahanan tampalan ini bergantung pada kualiti bahan yang digunakan.\nPentadbiran Lebuh Raya Persekutuan Amerika Syarikat (FHWA) menyediakan gambaran keseluruhan bagi amalan terbaik yang merangkumi beberapa teknik pembaikan, iaitu lempar-dan-golek, separa kekal, suntikan sembur, dan kedap pinggir. FHWA telah mencadangkan bahawa teknik tampalan yang terbaik adalah melalui prosedur suntikan sembur, diikuti dengan lempar-dan-golek, separa kekal, dan kedap pinggir. Suntikan semburan merupakan kaedah yang paling efektif untuk pembaikan kerosakan turapan yang kecil. Namun begitu, kaedah ini agak kurang popular di Malaysia. Hal ini mungkin kerana melibatkan pembelian peralatan yang khusus dan agak mahal berbanding dengan kaedah pembaikan yang lain. Sebagai contohnya, kaedah separa kekal hanya memerlukan mesin pemadatan bergetar untuk memadatkan bahan campuran.\nSeterusnya, terdapat beberapa langkah yang boleh dipraktikkan untuk mengelakkan berlakunya jalan berlubang pada permukaan turapan. Lazimnya, turapan yang berisiko ialah jalan tempatan yang mempunyai standard struktur lebih rendah dan lebih banyak faktor merumitkan seperti utiliti bawah tanah berbanding dengan jalan utama. Pemantauan keadaan turapan perlu dilaksanakan agar tindakan pencegahan awal dapat dilakukan. Tinjauan berkala boleh menangani kerosakan turapan yang mengurangkan kekuatan lapisan asfalt dan membolehkan air menyerap ke dalam turapan.\nSelain itu, struktur saliran termasuklah perparitan dan pembetung hujan diperlukan untuk menyingkirkan air daripada turapan. Langkah untuk mengelakkan faktor risiko lain melalui pembinaan termasuklah tapak dan subtapak yang disalir dengan baik bagi mengelakkan tindakan air dan menggalakkan pengeringan struktur tanah. Permukaan turapan mesti mempunyai kecerunan atau sudut yang mencukupi untuk menggalakkan pengaliran air ke sisi. Kawalan retak yang baik dapat mencegah penyusupan air ke dalam struktur tanah turapan.\nPenyelenggaraan cegahan menambah keutuhan struktur turapan dengan ketebalan dan keselanjaran kepada campuran yang mencegah penyusupan air serta menggalakkan pergerakan air menjauhi jalan raya. Proses pemotongan turapan untuk tujuan pemasangan utiliti perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan kehilangan integriti struktur turapan dan kegagalan yang membenarkan penyusupan air. Tampalan yang dibuat juga perlu sama rata dengan aras asal supaya pemanduan yang selesa dapat dicapai.\nJabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga telah mengambil langkah proaktif dengan menyediakan platform bagi kemudahan orang ramai untuk membuat aduan atau menyalurkan maklumat berkaitan dengan kerosakan jalan raya. \u201cZero Pothole\u201d, \u201cAduan Potholes DBKL\u201d dan \u201cAduan Potholes MBI\u201d adalah antara kempen yang telah aktif dilaksanakan. Menurut pihak JKR, melalui kempen ini, kerja penampalan jalan berlubang akan dilaksanakan dalam tempoh 24 jam daripada penemuan atau aduan kerosakan dan dalam tempoh tiga hari bagi pembaikan kekal seperti mana yang termaktub dalam kontrak Penyelenggaraan Jalan Persekutuan.\nNamun begitu, kempen kesedaran seperti ini dilihat wajar diperluas kepada kempen \u201cZero Road Defects\u201d. Hal ini kerana jalan berlubang merupakan satu daripada 17 jenis kerosakan jalan raya yang telah dikenal pasti. Orang ramai perlu segera melaporkan kerosakan kecil jalan untuk mengelakkan penularan kerosakan yang lebih besar lagi. Sebagai contohnya, retakan kecil di permukaan jalan perlu dilaporkan tanpa menunggu sehingga terbentuknya jalan berlubang agar penilaian yang sewajarnya dapat diambil oleh pihak berwajib.\nSementara itu, terdapat beberapa perkara penting yang perlu diambil perhatian oleh para pemandu ketika berhadapan dengan jalan berlubang. Pastikan memandu dengan berhati-hati apabila melalui jalan yang basah dan melihat setiap lopak air. Hal ini kerana jalan berlubang mungkin kelihatan seperti lopak, terutamanya selepas hujan lebat.\nPada waktu malam pula, daya penglihatan akan semakin berkurangan dan lampu hadapan kenderaan yang datang dari arah bertentangan akan mengurangkan keupayaan kita untuk mengenal pasti jalan berlubang dengan jelas. Tambahan pula, jika kawasan tersebut kurang pencahayaan, pasti akan mengurangkan lagi daya tumpuan. Pengurangan pencahayaan ini mungkin disebabkan oleh gangguan bekalan elektrik, tiada lampu jalan disediakan di kawasan tersebut atau kesan perbuatan jenayah (vandalisme). Pemandu juga mungkin tidak dapat melihat dengan jelas keadaan permukaan jalan yang jauh di luar kawasan kenderaan.\nPemandu juga perlu berwaspada apabila melalui kawasan yang mempunyai tanda amaran. Tanda amaran ini mungkin terdapat pada papan tanda lalu lintas yang menunjukkan adanya penyelenggaraan jalan di kawasan tersebut seperti tompok batuan kerikil di jalan raya sebagai penyelesaian pembaikan cepat untuk menutup jalan berlubang. Perlu diingatkan bahawa jika terdapat satu lubang, mungkin terdapat lebih banyak lagi jalan berlubang di sepanjang kawasan tersebut.\nWalaupun pemandu mungkin tidak dapat mengelak daripada memandu di kawasan jalan berlubang, langkah pemanduan dengan berhati-hati dapat mengurangkan tahap kerosakan dan mengelakkan perlanggaran yang lebih teruk. Kurangkan kelajuan apabila memandu pada waktu malam, dalam jarak penglihatan yang terhad dan di jalan yang basah. Kekalkan jarak yang selamat dengan kenderaan di hadapan kerana kita tidak mengetahui cara pemandu di hadapan akan bertindak balas jika melihat jalan berlubang. Jika jarak yang selamat dapat dikekalkan, pemandu dapat menekan brek kereta dengan selamat dan mempunyai pandangan yang lebih baik tentang apa-apa yang berlaku di hadapannya. Pemandu juga perlu memerhatikan keadaan hujan dan air larian hujan. Lubang jalan yang besar boleh mengumpul air hujan dan menjadikan pemandu sukar untuk mengetahui sejauh mana sebenarnya saiz lubang tersebut.\nWalaupun isu jalan berlubang ini kelihatan seperti \u201ctak lapuk di hujan, tak lekang di panas\u201d, namun begitu pastinya setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Oleh itu, semua pihak termasuklah pihak kerajaan, pemerintah dan orang ramai mesti memainkan peranan dengan sebaik-baiknya dalam menangani isu jalan berlubang. Rangkaian jalan raya yang baik mampu memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan holistik dan mampan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat.\nProfesor Madya Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff ialah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia.\nProfesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Pahang." "Manfaatkan Medium Penyampaian Kesihatan Buah Pinggang \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 \u201cPenyebaran maklumat berkaitan dengan kesihatan buah pinggang merupakan agenda penting. Medium penyampaian yang lebih berkesan perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Hal ini demikian kerana penemuan kajian mendapati wujudnya jurang pengetahuan terhadap penjagaan buah pinggang yang amat ketara. Perkara ini diterjemahkan melalui tabiat pemakanan yang kurang sihat, kecergasan fizikal yang terabai dan ditambah lagi dengan situasi COVID-19 yang membataskan pergerakan dan faktor lain,\u201d titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.\nDemikian titah baginda selepas berkenan berangkat menghadiri kempen \u201cPerlis Hebat: Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Tindakan\u201d yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) bagi memperingati Hari Buah Pinggang Sedunia yang disambut pada 10 Mac setiap tahun untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat akan pentingnya buah pinggang kepada manusia.\nSementara itu, program ini disekalikan dengan majlis penyerahan sumbangan MAIPs berjumlah RM11 600 kepada sebanyak 29 orang asnaf terpilih yang masing-masing menerima RM400 setiap seorang dalam kalangan anak kariah Masjid Al-Mustaqim, Seriab, Kangar untuk diagihkan oleh amilnya, Rosli Yob bersempena dengan program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke-5 bagi tahun 2022 semalam.\n\nDalam program tersebut juga, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Sirajuddin Hashim menyatakan bahawa tema sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia pada tahun ini ialah \u201cKesihatan Buah Pinggang untuk Semua: Merapatkan Jurang Pengetahuan untuk Penjagaan Buah Pinggang yang Lebih Baik\u201d. Tema ini menekankan pentingnya pengetahuan penjagaan kesihatan buah pinggang dalam kalangan masyarakat agar buah pinggang sentiasa sihat dan dapat berfungsi dengan baik.\nMenurut beliau, sebanyak 850 juta individu menghidap penyakit buah pinggang di seluruh dunia hingga kini. Penyakit buah pinggang yang kronik juga adalah penyebab kematian keenam paling pantas dengan 2.4 juta kematian setiap tahun di seluruh dunia.\nTambah beliau lagi, jumlah pesakit buah pinggang yang kronik di Malaysia turut meningkat dengan angka sebanyak 42 503 orang pada tahun 2017 dan berlaku peningkatan sebanyak 7000 orang pesakit baharu setiap tahun. Pesakit yang menunggu pemindahan organ pula hampir mencecah 20 000 orang.\nTurut mengiringi baginda dalam program tersebut ialah Timbalan Yang Dipertua MAIPs, Dr. Haji Hazman Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor." "Tingkatkan Usaha Melestarikan Sumber Air\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Malaysia menerima hujan sebanyak 971 meter bilion padu setahun. Sebanyak 15 peratus daripada jumlah hujan itu ditakung untuk kegunaan empangan bagi penyaluran air. Hari Air sedunia disambut pada 22 Mac setiap tahun dan Malaysia telah menyambutnya sejak tahun 1993.\nMenurut Ketua Setiausaha KASA, Yang berbahagia Dato\u00e2\u20ac\u2122 Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dalam forum tersebut, isu yang kritikal bukan sahaja berkenaan ketidakcukupan air tetapi tentang penebatan banjir. Perubahan iklim merupakan suatu perkara yang serius pada peringkat global. Penggunaan sumber tenaga yang lestari amat digalakkan bagi mengatasi masalah perubahan iklim. Konservasi air adalah satu daripada amalan penggunaan air yang efisien untuk mengurangkan pembaziran. Konservasi air juga berkait rapat dengan perubahan iklim kerana proses penuaian air daripada alam sekitar memerlukan tenaga elektrik dan penebangan pokok untuk pembinaan kolam takungan air.\nMasyarakat perlu memanfaatkan penggunaan air sepenuhnya tanpa pembaziran supaya tidak mengakibatkan kesan yang besar kepada alam sekitar. Minda manusia perlu berubah apabila bercakap tentang isu pengurusan air, termasuklah isu banjir. Masyarakat dinasihatkan agar tidak membuang sampah merata-rata, menjaga sumber air dengan sebaik-baiknya dan tidak membazirkan penggunaan air.\nSementara itu, Ketua Unit Hidrogeologi Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Puan Asminah Rajuli menekankan tentang sumber air bawah tanah. Menurut beliau, Malaysia sangat kaya dengan sumber air. Air bawah tanah merupakan pilihan yang terbaik sebagai sumber bekalan air sokongan kerana kurang terdedah pada pencemaran. Jumlah takungan air bawah tanah ialah 5000 bilion meter padu. Pihak JMG menyediakan National Groundwater Policy 2040 untuk menyasarkan penggunaan air bawah tanah hingga 30 peratus pada tahun 2040. Jabatan ini juga giat menjalankan projek pembangunan air bawah tanah negara di seluruh Malaysia.\nSeterusnya, Pengurus River Care, Dr. Kalithasan Kailasam dari Global Environment Centre (GEC) berkongsi tentang aktiviti kelestarian sumber air. Selaku Pertubuhan Bukan Kerajaan yang aktif dalam aktiviti penjagaan sungai selama 23 tahun, beliau menyatakan bahawa pihak pemegang taruh seperti renjer sungai dan sahabat lembangan sungai telah bertindak secara proaktif apabila sesuatu isu air berlaku. GEC telah melatih dan memperkasa lebih 260 komuniti setempat untuk meningkatkan kesedaran mereka tentang kepentingan sungai.\nTambah beliau lagi, kini komuniti lebih prihatin akan isu kebersihan sungai, namun begitu terdapat beberapa isu berkaitan dengan pencemaran sungai masih berlaku. Masyarakat perlu tahu betapa pentingnya untuk memahami bahawa kitaran air adalah kompleks, meliputi longkang dan parit yang merupakan sebahagian daripada sistem sungai agar tindakan penjagaan sumber air bukanlah tertumpu pada sungai semata-mata.\nForum ini diakhiri dengan ahli panel menjawab persoalan yang diutarakan oleh para pelayar dan pengumuman nama pemenang bertuah yang memenangi naskhah buku air dan pembentungan di Malaysia." "Senjata Api sebagai Kawan atau Lawan?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPembunuhan, rompakan, serangan dan keganasan melibatkan senjata api bukanlah sesuatu yang asing kepada dunia. Khususnya di negara barat, banyak kecederaan dan kematian berkaitan senjata api telah dilaporkan dalam kalangan rakyat tahun demi tahun. Hal ini mungkin disebabkan oleh kadar pemilikan senjata api yang tinggi di negara tersebut. Tambahan pula, undang-undang senjata api yang tidak ketat berbanding negara kita telah menyebabkan pembelian senjata api menjadi lebih mudah berbanding dengan negara lain.\nKebanyakan orang awam membeli senjata api atas alasan melindungi diri serta keluarga daripada anasir jahat. Namun begitu, senjata api tersebut bukan menjamin keselamatan, sebaliknya mengundang bahaya kepada pemilik dan juga orang lain, terutamanya ahli keluarga sendiri. Senjata maut tersebut boleh meragut nyawa sesiapa sahaja, termasuklah pemiliknya sendiri. Gun Deaths by Country 2021 melaporkan bahawa Brazil ialah negara tertinggi yang menunjukkan angka kematian yang disebabkan oleh senjata api, iaitu sebanyak 49 436 orang pada tahun 2019. Hal ini melibatkan semua kes kematian yang berkaitan dengan senjata api seperti pembunuhan, bunuh diri menggunakan senjata api dan tembakan tanpa sengaja.\nNegara kedua tertinggi ialah Amerika Syarikat yang melibatkan sebanyak 37 038 kematian akibat senjata api. Keganasan senjata api di Amerika Latin adalah disebabkan oleh kewujudan kumpulan pengganas dan kegiatan pengedaran dadah yang berleluasa. Antara faktor yang mencetuskan peningkatan ini ialah ketandusan ekonomi, ketidakstabilan tempat kediaman, kehancuran sistem kekeluargaan, ketidakhadiran ke sekolah dan pengambilan alkohol yang tidak terkawal.\nWalau bagaimanapun, keadaan ini jauh berbeza di Malaysia. Ramai mengetahui bahawa undang-undang senjata api di Malaysia, iaitu Akta Senjata 1960 (Akta 206) merupakan undang-undang yang sangat ketat. Maka, pemilikan senjata api bukanlah semudah yang disangka. Proses mendapatkan lesen untuk memiliki senjata api secara sah adalah rumit melainkan seseorang itu merupakan penguat kuasa undang-undang seperti anggota Polis Diraja Malaysia, Pegawai Kastam dan penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. Justeru itu, pemilikan senjata api di Malaysia adalah jauh lebih rendah dan penggunaan senjata api dalam perlakuan jenayah tidak sebegitu lazim seperti di Amerika Latin.\nOrang awam dewasa di Malaysia boleh memohon untuk mendapatkan lesen pemilikan senjata api dan perlulah mengisi borang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) yang berdekatan dengan tempat tinggal pemohon. Permohonan ini diluluskan oleh Ketua Polis Negeri sekiranya pemohon mempunyai sebab yang kukuh untuk memiliki, membawa senjata api tersebut dan tidak membahayakan keselamatan orang awam yang lain. Antara tiga sebab utama pemohon memohon lesen pemilikan senjata api adalah untuk pencegahan haiwan perosak tanaman yang boleh mengganggu proses tanaman pertanian, menjaga keselamatan diri sendiri dan harta benda serta untuk bersukan. Sekiranya pemohon dibenarkan untuk mempunyai lesen pemilikan senjata api, pemohon perlu memastikan senjata api tersebut disimpan di tempat yang selamat. Hal ini untuk mengelakkan supaya senjata api tersebut tidak dijumpai oleh ahli keluarga atau rakan-rakan dan tidak disalahgunakan untuk perkara yang boleh melanggar undang-undang di Malaysia.\nSungguhpun undang-undang senjata api di Malaysia sangat ketat, masih terdapat kes tembakan yang dilaporkan. Terdapat lebih daripada 10 kes tembakan telah dilaporkan pada tahun 2016. Memandangkan kematian berkaitan senjata api tidak begitu meluas di Malaysia, sebarang berita mengenai kes tembakan yang berlaku mampu mencetuskan panik dan ketakutan dalam kalangan rakyat Malaysia.\nPeningkatan kes tembakan di Malaysia menunjukkan bahawa keganasan senjata api di Malaysia berada pada tahap yang terkawal tetapi perlu diberikan perhatian. Sejumlah 204 kes kematian berkaitan senjata api telah dilaporkan di Lembah Klang sejak tahun 2006 hingga tahun 2016. Dalam tempoh tersebut, hanya empat kematian direkodkan pada tahun 2007, namun bilangan tersebut meningkat kepada 43 orang pada tahun 2009. Menurut kajian, kebanyakan mangsa yang terbunuh dalam kes tembakan ialah lelaki. Sifat semula jadi lelaki yang agresif mungkin mendorong mereka untuk terlibat dalam pertelingkahan seterusnya membawa kepada kematian. Yang menariknya, golongan dalam peringkat umur antara 30 tahun hingga 34 tahun yang lebih ramai terbunuh berbanding dengan peringkat umur yang lain. Golongan ini lebih banyak berada di luar rumah atas faktor bekerja dan sebagainya yang mungkin mendedahkan mereka kepada keganasan yang berlaku di luar sana.\nBerdasarkan kajian yang dilakukan di Lembah Klang, warganegara Malaysia lebih ramai terbunuh akibat senjata api berbanding dengan bukan warganegara. Dalam pada itu, kaum India direkodkan sebagai paling ramai menjadi sasaran. Selain itu, kes kematian berkaitan senjata api di Malaysia hampir kesemuanya melibatkan pembunuhan dan berlaku pada lewat malam, iaitu antara pukul 12.00 tengah malam hingga 5.59 pagi. Lambakan kes bunuh melibatkan senjata api ini disebabkan oleh pemilikan senjata api secara haram yang berkemungkinan besar diperolehi melalui pasaran gelap. Pada kebiasaannya, penjenayah lebih gemar melakukan jenayah pada waktu malam kerana kegelapan malam memberi kelebihan kepada mereka untuk menghilangkan diri tanpa disedari selepas melakukan sesuatu jenayah. Di samping itu, kebanyakan penembak memilih untuk menjadikan bahagian kepala mangsa sebagai sasaran kerana kecederaan pada bahagian tersebut mampu membunuh mangsa mereka dengan pantas.\nWalaupun orang ramai di Malaysia tidak sering tercedera atau terbunuh akibat senjata api, keganasan senjata api di Malaysia tidak seharusnya dipandang ringan. Tambahan pula, peningkatan kes tembakan di seluruh negara tidak sepatutnya diabaikan. Sebaliknya, isu keganasan senjata api dan kematian melibatkan senjata api ini perlu diberi perhatian yang lebih dan diselesaikan dengan lebih berkesan. Mudah-mudahan, kerajaan dan pihak berkuasa dapat mengatur strategi dan merangka penyelesaian yang lebih baik untuk mengatasi masalah ini. Sebagai contohnya, pihak berkuasa seperti polis boleh memperketatkan pengawasan di sempadan negara bagi mengelakkan penyeludupan dan pembelian senjata api dari negara jiran menjadi lebih berleluasa.\nSebagai kesimpulannya, senjata api mampu menjadi kawan dan juga lawan bergantung kepada keadaan. Sekiranya seseorang itu mempunyai pengetahuan yang baik dalam mengendalikan senjata api dan mengambil langkah keselamatan yang sepatutnya, senjata tersebut mungkin dapat menyelamatkan nyawa. Namun, seandainya senjata api digunakan secara salah, senjata tersebut boleh bertukar menjadi lawan dan mampu meragut nyawa dengan sekelip mata." "Impak Perubahan Iklim: Menangani Bencana Banjir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerubahan iklim merupakan fenomena global yang berlaku secara ketara dalam tiga dekad yang lalu. Fenomena ini merujuk perubahan besar yang berlaku terhadap suhu, hujan, salji atau corak angin yang terjadi sejak dahulu lagi. Perubahan iklim berlaku disebabkan oleh dua faktor utama, iaitu faktor semula jadi dan tindakan manusia itu sendiri. Banyak kajian oleh saintis yang memberi amaran bahawa kesan perubahan iklim kini semakin buruk sekali gus mengundang bencana banjir yang lebih kerap, malah pada abad ke-21 ini kita sudah menyaksikan pelbagai bencana banjir yang berlaku di Malaysia dan negara lain.\nPerubahan iklim mengakibatkan kesan pemanasan global, iaitu kenaikan suhu yang turut menyumbang kepada berlakunya taufan yang lebih kuat dan hujan lebat luar biasa. Situasi ini menyebabkan bencana banjir menjadi lebih serius dan berlaku di luar jangkaan. Suhu yang lebih panas akan menyebabkan lebih banyak air tersejat daripada daratan dan lautan, seterusnya mengubah corak hujan. Dianggarkan bahawa atmosfera mengekalkan tujuh peratus lebih banyak kelembapan untuk setiap kenaikan satu darjah.\nMemandangkan lebih banyak kelembapan di atmosfera, hujan menjadi lebih lebat, dan seterusnya membawa kepada bencana banjir. Perubahan suhu juga mempengaruhi sistem cuaca monsun yang mengawal taburan hujan. Hal ini bermakna taburan hujan semakin sukar diramalkan dan mungkin akan hadir dalam jumlah yang besar sehingga menyebabkan bencana banjir di suatu kawasan. Lazimnya, hujan lebat dibawa oleh angin monsun timur laut yang merupakan faktor semula jadi utama sekali gus menyebabkan berlakunya bencana banjir.\nTerdapat dua perkara utama akibat kesan perubahan iklim yang membawa kepada kejadian banjir yang lebih ekstrem sama ada banjir daratan dari segi peningkatan jumlah dan intensiti serta kekerapan hujan dan banjir pantai yang diakibatkan oleh kenaikan aras laut yang turut menyebabkan penerobosan air masin ke daratan. Pertembungan dua senario tersebut memungkinkan kejadian bencana banjir yang lebih buruk. Para saintis menjangkakan keadaan banjir yang ekstrem tersebut akan \u201csemakin memburuk\u201d dalam tempoh 20 tahun akan datang. Bencana banjir yang berlaku di beberapa buah negeri baru-baru ini menunjukkan bahawa Malaysia telah memasuki fasa perubahan iklim yang semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan segera daripada semua pihak.\nJika jangkaan saintis iklim ini tepat, Malaysia berkemungkinan akan mengalami hujan yang lebih lebat dan kejadian banjir akan lebih banyak berlaku pada masa akan datang. Lembah Klang yang terletak di kawasan lembangan di barat daya Semenanjung Malaysia yang jarang-jarang dilanda bencana banjir besar turut tidak terkecuali daripada menerima tempiasnya. Sekalipun saintis iklim dan pakar tempatan telah menjangkakan lebih banyak hujan dan kejadian banjir akan berlaku di rantau ini pada masa hadapan, termasuklah di kawasan yang lazimnya tidak banjir, persoalannya ialah adakah kita sudah bersedia untuk menanganinya? Bencana banjir yang berlaku baru-baru ini, terutamanya di Selangor, Kelantan dan Lembah Klang menunjukkan Malaysia belum bersedia secara keseluruhan untuk menghadapi bencara banjir dan impak perubahan iklim yang melanda.\nWujud masalah sistemik di sini, yakni bermula daripada perubahan sistem semula jadi disebabkan oleh perbuatan manusia seperti penebangan hutan yang menyebabkan banjir lebih buruk serta memberikan kesan terhadap kitaran hidrologi. Selain itu, perubahan iklim menyebabkan cuaca lebih ekstrem hingga sistem manusia seperti pembangunan bandar tidak lestari tanpa pengurusan lembangan sungai dan saliran yang baik serta ketiadaan penyelarasan dan pengurusan bencana yang berkesan.\nJumlah taburan hujan yang turun adalah dua kali ganda berbanding dengan purata jumlah taburan hujan sebulan, yakni puratanya melebihi 300 milimeter sehari. Keadaan ini diburukkan lagi dengan kehadiran air pasang besar, kawasan rendah, air sungai penuh, dan daratan terlebih tepu. Hujan yang luar biasa itu menyebabkan tebing sungai melimpah dan sistem perparitan sedia ada tidak dapat menampungnya.\nOleh itu, sebarang langkah tebatan banjir seperti projek kolam tadahan air pada masa akan datang perlu berkemampuan untuk menampung sebanyak 300 milimeter hingga 400 milimeter air pada bila-bila masa sahaja. Bagi membantu mengurangkan kejadian banjir pada masa hadapan, pihak kerajaan tidak boleh lagi menangguhkan projek lencongan sungai dan saliran. Begitu juga dengan zon penampan sepanjang pesisir sungai sangat diperlukan untuk menghindari proses hakisan tebing dan kemusnahan penempatan penduduk. Berbelanja untuk mencegah akan mengelakkan rakyat daripada menanggung beban yang lebih besar akibat pembiayaan pemulihan. Kerajaan negeri dan persekutuan harus menambah baik tindak balas dan pengurusan bencana masing-masing.\nLaporan Pengurangan Risiko Bencana dan Pusat Kesiapsiagaan Bencana Asia pada Tahun 2020 yang dikeluarkan oleh Pejabat PBB bagi mengurangkan risiko bencana di Malaysia, menyifatkan sistem pengurusan bencana negara yang secara berpusat atau dari atas ke bawah itu sebagai tidak cekap dan ketinggalan zaman. Tidak dapat dinafikan ketiadaan fleksibiliti dalam sistem pengurusan bencana dari atas ke bawah menjadikan sistem itu tidak boleh digunakan apabila berhadapan dengan cabaran abad ke-21. Hal ini menunjukkan bahawa maklumat dari bawah ke atas memainkan peranan penting dengan revolusi media sosial dan kesedaran dalam kalangan masyarakat akan memberikan impak terhadap reputasi dan nama baik kerajaan.\nMasyarakat harus berpandukan model perubahan iklim tahun 2021 yang tidak boleh diduga. Hal ini kerana kita berkemungkinan berhadapan dengan banjir yang boleh berlaku di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa. Oleh yang demikian, keperluan mengutamakan penyesuaian perubahan iklim dan pengurangan risiko bencana dengan menjadikannya sebagai agenda arus perdana dalam perancangan pembangunan perlu dititikberatkan.\nRamai sarjana sudah mula menyeru dunia untuk melakukan perubahan dalam perancangan bandar bagi menangani perubahan iklim yang menjejaskan kelestarian bandar dengan memperketatkan syarat pembangunan dan memperkukuhkan perundangan, selain melarang pembangunan di kawasan dataran banjir. Namun begitu, jika ada keperluan untuk dibangunkan, syarat yang ditetapkan harus mengambil kira kesan perubahan iklim seperti jumlah taburan hujan yang lebih tinggi dan kejadian cuaca melampau.\nBencana banjir di beberapa buah negeri baru-baru ini menunjukkan jangkaan manusia yang mengatakan banjir besar akan berlaku setiap 100 tahun perlu disangkal. Hal ini kerana dengan perubahan iklim yang berlaku dan keadaan bumi yang semakin menua telah merunsingkan pakar cuaca untuk meramal bila dan di mana bencana banjir besar itu akan berlaku walaupun kini pelbagai teknologi telah dibangunkan. Kini, perkara yang paling penting adalah dengan mengurangkan impak perubahan iklim dan memantapkan kesiapsiagaan dalam menghadapinya.\nMalaysia adalah antara negara yang menandatangani Rangka Kerja Sendai untuk Pengurangan Risiko Bencana 2015\u20132030. Hal ini menunjukkan bahawa kerajaan memberikan komitmen untuk mengurangkan risiko bencana, kelemahan dan kos kerugian bencana ke arah menjadi sebuah negara yang lebih selamat dan berdaya tahan. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu untuk mengurangkan risiko bencana. Pendidikan berkaitan dengan langkah pengurangan perubahan iklim dan kesiapsiagaan rakyat dalam menghadapi banjir perlu diperhebat dengan mendapatkan kerjasama daripada pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, universiti awam dan swasta, syarikat swasta, dan orang awam.\nOrang awam merupakan golongan majoriti dan seharusnya memainkan peranan masing-masing serta tidak mengharapkan pihak kerajaan semata-mata untuk mengubah segalanya. Hal ini bermula dengan tindak-tanduk manusia itu sendiri dalam penjagaan alam sekitar seperti tidak membuang sampah ke dalam sungai, tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka, mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian, dan lain-lain. Memperkukuh dan mengaplikasikan sepenuhnya Pelan Pengurusan Bencana dalam kalangan komuniti juga merupakan agenda yang sangat penting bagi mengurangkan kesan bencana terhadap kawasan penempatan, harta benda dan nyawa penduduk melalui penyelarasan terhadap bentuk bencana di kawasan berkenaan.\nKini, dunia tidak mempunyai masa yang banyak untuk memastikan perubahan iklim tidak berlaku secara drastik. Menurut laporan daripada Bank Pembangunan Asia, pemodelan menggunakan pelbagai senario kesan gas rumah hijau telah menunjukkan bahawa jumlah penduduk yang semakin banyak akan terdedah kepada banjir pada masa hadapan. Tambahan pula, sebanyak 70 000 orang akan terjejas akibat banjir di Malaysia pada tahun 2030 sekali gus menyebabkan kerosakan meningkat sebanyak RM7.53 bilion. Secara puratanya, sebanyak 175 502 orang diunjurkan akan terdedah kepada banjir melampau pada tahun 2035 hingga tahun 2044." "Sambutan Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Dianggarkan kira-kira 11 juta kematian di seluruh dunia dikaitkan dengan diet yang tidak sihat dan tiga juta daripadanya berpunca daripada pengambilan garam yang tinggi. Pengambilan garam yang berlebihan akan meningkatkan tekanan darah, dan seterusnya meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular, strok, kanser, dan penyakit buah pinggang yang merupakan antara punca utama kematian penyakit tidak berjangkit di seluruh dunia.\nPada tahun ini, sambutan Minggu Kesedaran Garam Sedunia di negara ini diadakan pada 14 Mac 2022 hingga 20 Mac 2022 yang bertemakan \u201cTak Masin Tu Ok!\u201d. Antara kumpulan sasaran utama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah dalam kalangan pekerja industri makanan dengan memberikan pendidikan dan kerjasama berterusan bagi memastikan mereka komited dalam melakukan reformulasi produk makanan dan minuman agar kandungan garam dapat dikurangkan. Pihak industri makanan juga diingatkan untuk mematuhi Akta Makanan 1983 yang mewajibkan pelabelan kandungan garam pada produk makanan dan minuman.\nMajlis Pelancaran Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2022 peringkat kebangsaan telah diadakan pada 17 Mac 2022 pada pukul 10.00 pagi dan disiarkan secara langsung melalui Facebook rasmi KKM. Majlis yang diadakan secara maya tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan I, Yang Berhormat Dato\u2019 Dr. Haji Noor Azmi Ghazali.\nSementara itu, dalam majlis tersebut juga diadakan sebuah webinar bagi berkongsi maklumat berkaitan dengan garam kepada para penonton. Antara perkongsian ilmu yang disampaikan oleh Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit, Dr. Rosnah Ramly adalah berkaitan dengan garam dan impaknya kepada kesihatan. Selain itu, Pegawai Dietetik, Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu, Puan Viola Michael juga memberikan penerangan tentang cabaran pengawalan garam dalam diet.\nDalam majlis tersebut juga turut diadakan forum yang bertajuk \u201cTak Masin Itu Ok!\u201d yang menampilkan tiga orang panel, iaitu Pensyarah Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-Care), Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Hasnah Haron, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Keselamatan Kualiti Makanan, Puan Norlida Zulkafly dan Juara Hero Oven 2016, Cef Naem Ramli. Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Dietetik), Bahagian Kawalan Penyakit, Dr. Hamdan Mohamad bertindak selaku moderator forum tersebut.\nMajlis yang berlangsung selama lebih kurang dua jam setengah itu turut dimeriahkan dengan tayangan video dan gimik pelancaran sambutan. Diharapkan melalui webinar yang diadakan bersempena dengan pelancaran Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2022 membolehkan masyarakat Malaysia semakin peka dengan pengambilan garam dalam diet harian masing-masing." "Kepelbagaian Dialek Perak yang Menarik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2212Perak merupakan antara negeri yang banyak bersempadan dengan negeri-negeri yang lain. Contohnya, Hulu Perak bersempadan dengan Thailand di bahagian atas negerinya dan di sebelah kanannya pula ialah negeri Kelantan. Pada asalnya, Perak mempunyai sembilan buah daerah tetapi kini sudah menjadi 12 daerah, iaitu Kinta Utara dan Kinta Selatan. Begitu juga daerah Batang Padang sudah ada daerah Mualim dan daerah Hilir Perak sudah ada daerah Bagan Datuk.\nPenduduknya bercakap menggunakan pelbagai dialek yang terbahagi kepada lima jenis, iaitu dialek Utara, Patani, Lembah Sungai Perak, Pulau Bali di Indonesia dan Selatan Semenanjung. Namun begitu, bukan keseluruhan penduduk di Perak menggunakan dialek Perak, sebaliknya merupakan dialek yang terdapat di negeri itu. Asal usul dialek negeri Perak termasuklah daripada penduduk yang bersempadan di bahagian utara, iaitu Kerian, Larut Matang, Bagan Serai, Taiping dan Parit Buntar. Pantai Remis terarah pada dialek Kedah. Begitu juga faktor penghijrahan yang antaranya berlaku melalui laut, iaitu dari Sumatera Indonesia atau dari Kalimantan Indonesia dan Banjarmasin yang berhijrah ke Kerian.\nAntara asimilasi bahasa yang berlaku termasuklah dalam dialek Perak yang menerima, mencantumkan, menggabungkan dialek dari Jawa, Indonesia. Antara contohnya termasuklah perkataan jajan yang bermaksud kudap. Sumber perkataan itu dikatakan berasal dari Indonesia. Bahasa itu bersifat terbuka dan adanya faktor penerimaan daripada luar. Jika tidak, bahasa itu akan lenyap.\n\u201cSemoga kita sama-sama berperanan menjaga warisan bangsa kerana hilang satu warisan, maka kita akan sangat rugi. Kedudukan warisan bangsa kita kian hilang disebabkan oleh faktor kecanggihan teknologi. Orang yang hebat bukan sahaja kerana ilmu, bahkan boleh bercakap dalam pelbagai bahasa dan dalam pelbagai dialek. Seelok-eloknya generasi muda pada hari ini dapat menonton, merakam dan menyimpan koleksi dialek ini kerana pada suatu masa nanti kita akan amat memerlukannya.\u201c\nDemikianlah antara penerangan yang diberikan oleh Cikgu Mudzaffar Shah, ketika berbicara tentang kepelbagaian dialek Perak sewaktu menjadi tetamu undangan dalam Rancangan Dialek Kita: Kepelbagaian Dialek Perak menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP sebentar tadi." "Isu Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia sebagai Bahasa ASEAN\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nApabila Perdana Menteri Malaysia mencadangkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN, beliau tidak bercakap tentang bahasa Melayu yang berkaitan dengan negara tertentu. Konsep bahasa Melayu luas, iaitu bahasa yang tersebar di wilayah yang dikenal sebagai Alam Melayu atau Kepulauan Melayu (Malay Archipelago). Fakta itu terakam dalam sejarah yang tidak mungkin dapat dinafikan oleh sesiapa.\nDalam konteks semasa, bahasa Melayu di Asia Tenggara diwakili oleh dialek besar yang dikenal sebagai bahasa Indonesia, bahasa Melayu di Malaysia, bahasa Melayu di Singapura, bahasa Melayu di Brunei Darussalam, bahasa Melayu di Thailand (khasnya bahagian selatan), bahasa Melayu di Kampuchea, bahasa Melayu di Laos, bahasa Melayu di Vietnam, bahasa Melayu di Filipina dan bahasa Melayu di Myanmar.\nDalam persuratan di Indonesia sebelum merdeka, yang ada ialah \u201cbahasa Melajoe\u201c (bahasa Melayu dalam ejaan pengaruh Belanda). Hanya sesudah Sumpah Pemuda pada 28 Oktober 1928, baru digunakan nama bahasa Indonesia dalam pernyataan jati diri tiga serangkai, iaitu \u201cBertanah air yang satu, negara Indonesia; berbangsa yang satu bangsa Indonesia; dan berbahasa yang satu bahasa Indonesia\u201c. Ketika pemuka negara itu, seperti Sukarno memilih bahasa nasional bagi negara itu, bahasa yang dipilih ialah bahasa Melayu.\nSaya yakin bahawa atas pemahaman itulah Presiden Indonesia menyambut baik cadangan Perdana Menteri Malaysia itu. Perbedaan yang wujud antara bahasa Melayu di Indonesia yang diisytiharkan namanya \u201cbahasa Indonesia\u201c dengan bahasa Melayu di Malaysia dan negara lain tidak patut menjadi penghalang atau dijadikan isu. Perbincangan dari hati ke hati perlu diadakan agar difahami bahawa bahasa Melayu yang dicadangkan sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN ialah bahasa Melayu supra atau bahasa Melayu mahawangsa yang meliputi Alam Melayu (Malay Archipelago).\nJangan jadikan kelainan nama dan perbedaan yang wujud dalam hal tertentu sebagai isu untuk mematikan cita-cita mengangkat bahasa serantau sebagai bahasa rasmi pakatan serantau ASEAN. Jangan juga dijadikan cita-cita itu sebagai persaingan atau perlumbaan antara negara yang pasti tidak menguntungkan mana-mana pihak. Yang penting ialah semangat persatuan untuk menggunakan bahasa Melayu dengan konsep yang luas bagi pakatan serantau ASEAN. Dalam Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) yang diterajui oleh tiga buah negara penggerak, iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam, istilah bahasa Melayu-Indonesia pernah digunakan. Demikian juga dalam Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM)." "UUM Teroka Potensi Azolla\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIsu kenaikan harga makanan ternakan atau dedak untuk ayam dan lembu mendatangkan beban yang besar terhadap golongan penternak, terutamanya komuniti kampung yang terlibat dalam industri penternakan.\nKeadaan ini telah mendorong Ketua Pusat Kajian Food Security, Innovation dan Development (FInDER), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail melakukan penyelidikan terhadap Azolla sebagai alternatif baharu makanan ternakan bagi membantu meringankan kos penternak setempat.\nMenurutnya, Azolla merupakan sejenis tumbuhan hijau yang tumbuh secara bersimbiosis dengan sejenis cyanobacterium (alga biru-hijau), iaitu anabaena. Azollla tumbuh dengan banyak di dalam kolam air dan padi di kebanyakan negara di Asia.\n\u201cTerdapat pelbagai spesies Azolla yang setiap satunya mempunyai potensi yang besar untuk dikomersialkan dalam bidang makanan dan kosmetik. Negara luar seperti India, Indonesia dan Filipina pula banyak menggunakan Azolla sebagai makanan ternakan,\u201d kata Profesor Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail.\nDi Malaysia, usaha yang sama telah dilakukan, namun kegunaan Azolla belum mencapai tahap yang optimal dan signifikan untuk menampung keperluan industri ternakan tempatan.\nBeliau menjelaskan bahawa Azolla mempunyai kandungan protein yang tinggi, iaitu sebanyak 20 peratus hingga 30 peratus dan kandungan asid amino seperti lisin. Hal ini menjadikan tumbuhan ini sebagai sumber makanan yang amat sesuai untuk ternakan dan inisiatif yang lebih agresif perlu diambil bagi meneroka potensinya.\nMengambil kira faktor tersebut, beliau telah melakukan penyelidikan mendalam terhadap beberapa jenis water fern seperti Azolla untuk menerokai kegunaan genus ini dari pelbagai segi.\nMenurutnya lagi, satu daripada tujuan utama penyelidikan dalam bidang tumbuhan ini dilakukan adalah untuk menerokai potensinya dalam bidang makanan manusia, makanan ternakan dan kosmetik.\n\u201cPotensi tumbuhan dan alga selain Azolla juga sedang dikaji dan akan terus diterokai, terutamanya bagi menyokong kesinambungan usaha bagi mendokong rangkaian bekalan makanan yang lebih kuat dan stabil,\u201d tambah ahli mikrobiologi ini.\nKeselamatan makanan merupakan satu daripada agenda besar negara yang perlu kita sokong. UUM sendiri mempunyai kepakaran dan sokongan yang cukup untuk menyumbang ke arah pemantapan aktiviti ekonomi dalam kalangan komuniti tempatan, terutamanya golongan B40 yang berkecimpung dalam industri penternakan.\n\u201cSetakat ini, hasil daripada penyelidikan mendapati Azolla sangat sesuai dijadikan makanan ternakan, terutamanya untuk arnab dan ayam. Saya masih meneruskan usaha untuk melihat potensi Azolla untuk makanan ternakan lain, antaranya ialah Azolla pinnata,\u201d katanya.\nMengulas lanjut, beliau berkata, penyelidikan itu bermula dengan dorongan ingin membantu penternak daripada golongan B40 dan menerima geran sokongan dari UUM.\nMenurutnya lagi, penglibatan FInDER dalam projek penternakan ayam dalam kalangan komuniti masyarakat kampung di Kedah sejak tahun 2020 telah membuka mata penyelidik berkaitan isu makanan ternakan.\nBuat masa ini, saya telah menghasilkan beberapa variasi makanan ternakan untuk arnab dan ayam yang telah mencapai fasa pre-komersialisasi. Selain itu, terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi untuk memastikan pertumbuhan Azolla cukup untuk menampung keperluan penyelidikan dan seterusnya keperluan kegunaan secara komersil.\nBeliau menyatakan bahawa kerjasama dan sokongan daripada anak syarikat UUM sendiri akan dijadikan sebagai platfom bagi memastikan produk itu berjaya dikomersialkan dan mencapai komuniti sasaran." "33 Bandar Sasaran Inisiatif Pelan Induk Bandar Rendah Karbon\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2021 anjuran\u00a0Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), iaitu agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah diadakan di Hotel EQ, Equatorial Plaza, Kuala Lumpur dan dirasmikan oleh Menteri Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Yang Berhormat Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, semalam.\nMajlis yang diadakan saban tahun ini adalah untuk mengiktiraf dan meraikan pihak berkuasa tempatan, badan kerajaan dan organisasi swasta yang berjaya mengurangkan kadar pelepasan gas rumah kaca (GHG) menerusi program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 atau Low Carbon Cities 2030 Challenge (LCC2030C).\nSebanyak 13 zon rendah karbon dan 30 rakan kongsi rendah karbon telah menerima pengiktirafan \u201cBerlian\u201d, manakala 22 penyertaan telah diberikan \u201cPensijilan Sementara\u201d atas usaha pembangunan data penanda aras dan pelan tindakan rendah karbon dalam kawasan zon dan rakan kongsi rendah karbon.\nMenurut Menteri KASA, beliau percaya transformasi ke arah bandar rendah karbon akan menyumbang kepada pengurangan impak perubahan iklim secara signifikan, terutamanya di Malaysia. Beliau juga berharap 33 bandar yang terpilih di bawah inisiatif Pelan Induk Bandar Rendah Karbon akan menyediakan inventori dan pelan tindakan pengurangan kadar GHG seawal tahun 2030 dengan jumlah pengurangan sebanyak 33 peratus berdasarkan penanda aras.\nTurut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Tuan Shamsul Bahar Mohd Nor dan Timbalan Ketua Setiausaha KASA, Puan Nor Afifah Abdul Razak." "Memorandum Persefahaman Dimeterai Tingkat Mekanisme Hebahan Cuaca\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Dalam usaha kerajaan untuk meluaskan capaian maklumat, meningkatkan kefahaman terhadap cuaca dan impak geofizik serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan rakyat dan negara, sebuah majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) telah diadakan pada hari ini. MoU tersebut merupakan titik permulaan kerjasama antara kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Smart Digital International Sdn. Bhd. (Sirius TV).\nBertempat di Ibu Pejabat METMalaysia, MoU tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pengarah METMalaysia, Encik Muhammad Helmi Abdullah serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sirius TV, Tuan Haji Khairuddin Abd Rahman yang disaksikan oleh Menteri Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Yang Berhormat Dato\u00e2\u20ac\u2122 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar) KASA, Puan Noor Afifah Abdul Razak, para pegawai KASA, METMalaysia, dan wakil daripada kumpulan Sirius TV.\nSirius TV merupakan sebuah syarikat televisyen satelit berbayar yang memiliki lebih daripada 30 saluran dan satu daripadanya ialah saluran berita khas yang dinamakan sebagai Sirius Media. Selain menyiarkan laporan berita, Sirius Media juga akan memberikan perkhidmatan laporan ramalan cuaca setiap hari kepada rakyat Malaysia.\nKerjasama antara kedua-dua pihak diharapkan mampu meningkatkan keluasan mekanisme hebahan melalui media elektronik kepada rakyat. Di samping itu, kedua-pihak juga dicadangkan agar menghasilkan pelbagai bahan kesedaran berkaitan dengan cuaca, gempa bumi dan tsunami menerusi cara yang lebih kreatif dan interaktif dalam usaha untuk menarik minat masyarakat Malaysia." "Malaysia Sasar Bebas Tibi Tahun 2035\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah menganggarkan sejumlah 9.9 juta kes tibi di seluruh dunia dengan jumlah kematian sebanyak 1.5 juta pada tahun 2020, manakala jumlah kes tibi yang dilaporkan di Malaysia pada tahun 2021 adalah sebanyak\u00a0 21 727 kes (kadar insiden 63.5 bagi setiap 100 000 orang penduduk), iaitu penurunan sebanyak 1917 kes (8.1 peratus) berbanding dengan 23 644 kes (kadar insiden 72.4 bagi setiap 100 000 orang penduduk) pada tahun 2020. Jumlah kematian tibi adalah sebanyak 2288, menurun sebanyak 32 kematian (1.4 peratus) pada tahun 2021 berbanding dengan tahun 2020 dengan kadar insiden 6.6 setiap 100 000 orang penduduk.\nPada 24 Mac setiap tahun, sambutan Hari Tibi Sedunia telah diadakan di seluruh dunia bagi memperingati sejarah penemuan bakteria Mycobacterium tuberculosis oleh Dr. Robert Koch pada 24 Mac 1882. Sambutan ini dilaksanakan adalah untuk meningkatkan kesedaran, komitmen dan sokongan terhadap usaha pencegahan dan kawalan penyakit tibi yang dilakukan di seluruh negara.\nSambutan yang bertemakan \u201cInvest to End TB. Save Lives\u201c membawa maksud pelaburan bagi memastikan pesakit mendapat akses kepada diagnosis dan rawatan tibi adalah amat penting untuk menyelamatkan pesakit daripada mendapat komplikasi yang tidak diingini seperti kematian akibat penyakit tibi. Pelaburan bagi pencegahan, kawalan dan rawatan jangkitan latent TB, active TB dan drug resistant TB perlu diberikan keutamaan bagi memastikan Malaysia mencapai sasaran menamatkan epidemik tibi menjelang tahun 2035.\nPenyakit tibi merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis dan merebak melalui udara. Antara tanda penyakit tibi ialah batuk yang berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh pada waktu malam, kurang selera makan, berat badan berkurangan, dan batuk berdarah. lndividu yang mempunyai gejala perlu menjalani pemeriksaan dan rawatan awal di klinik kesihatan dan hospital yang berhampiran.\nSementara itu, rawatan bagi penyakit tibi melibatkan gabungan empat jenis antibiotik, iaitu Ethambutol, lsoniazid, Rifampicin, dan Pyrazinamide pada fasa intensif selama dua bulan dan kemudiannya diikuti dengan dua jenis antibiolik, iaitu Isoniazid dan Rifampicin pada fasa sambungan selama empat bulan. Pesakit tibi boleh sembuh jika mematuhi jadual rawatan yang telah ditetapkan, sebaliknya pesakit yang tidak mematuhi rawatan yang ditetapkan mempunyai risiko untuk mendapat semula jangkitan tibi dan mengalami kerintangan terhadap antibiotik antitibi. Aspek pematuhan terhadap rawatan sangat penting bagi memastikan pesakit tibi dapat pulih sepenuhnya.\nBagi memastikan pesakit tibi memperoleh rawatan yang terbaik dan sembuh dengan jayanya, sokongan daripada ahli keluarga, rakan sekerja, majikan, dan pertubuhan bukan kerajaan sangat diperlukan. Penyakit tibi dan stigma terhadap pesakit tibi perlu dihentikan. Komitmen daripada semua pihak amat penting bagi mencapai hasrat Malaysia bebas tibi menjelang tahun 2035." "Masyarakat Perlu Melibatkan Diri dalam Usaha Menjaga Alam Sekitar \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPadang Besar \u2013 \u201cRakyat perlu bersama-sama bertanggungjawab dalam menjaga alam sekitar. Antara usaha yang boleh dilakukan adalah dengan melibatkan diri dalam penanaman pokok, mengelakkan penggunaan plastik sekali guna, mengitar semula, menjimatkan penggunaan elektrik dan air serta menggunakan teknologi mesra alam,\u201d titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas program penanaman pokok jati Tectona grandis bersempena dengan kempen \u201cPerlis Hebat: Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Tindakan\u201d.\nProgram yang diadakan ini adalah kerjasama daripada Jabatan Perhutanan Negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Yayasan Tuanku Fauziah (YTF). Tujuan utama program ini adalah untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan hutan, pemeliharaan dan pemuliharaannya demi kesejahteraan dan kestabilan alam sekitar.\nMenurut Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Encik Ag. Shaffie Ag. Ahmadni yang turut hadir dalam program tersebut, Malaysia amat bertuah kerana memiliki hutan hujan tropika semula jadi yang kaya dengan kepelbagaian biologi hutan. Hutan tropika ini merupakan khazanah negara yang tidak ternilai dan menjadi habitat kepada flora dan fauna, perkhidmatan ekosistem dan produknya. Oleh itu, Malaysia perlulah komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai hutan dan litupan pokok.\nSeterusnya, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis turut berkenan menyempurnakan perasmian penutup program \u201cModenas Travellers Ride\u201d dan Kembara Kemanusiaan Mac 2022 yang diketuai oleh Presiden Kelab Anita Bikers, Anita Yusop yang melibatkan 18 buah motosikal berkuasa tinggi.\nUntuk makluman, Hari Hutan Antarabangsa disambut pada 21 Mac setiap tahun. Sambutan ini dahulunya dikenali sebagai Hari Perhutanan Sedunia yang telah dipersetujui oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu pada 21 Mac 1972 dan disambut oleh 20 buah negara di seluruh dunia. Tarikh ini dipilih berikutan hari pertama bermulanya musim bunga di hemisfera utara. Pokok mula bertunas semula dan menghijau setelah melalui tempoh dorman sepanjang musim sejuk." "Realiti Maya Teknologi Baharu Pendidikan Alam Sekitar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBera \u2013 Sambutan Hari Air Sedunia 2022 peringkat kebangsaan telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob di Taman Awam Bera, Bera, Pahang pada hari ini, 26 Mac 2022. Selain majlis pelancaran, terdapat juga pameran berkaitan dengan tema sambutan tersebut, iaitu melestarikan sumber air dengan memanfaatkan air di bawah tanah. Tema ini diperkenalkan oleh Menteri Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Yang Berhormat Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.\nPameran sistem bersepadu pengurusan sumber air dengan menggunakan teknologi realiti maya atau virtual reality (VR) antara satu daripada pameran yang dipamerkan bersempena dengan sambutan tersebut. Teknologi VR boleh digunakan untuk memudahkan proses membuat keputusan dan meningkatkan kefahaman serta komitmen masyarakat terhadap pelestarian alam sekitar.\nSelain itu, teknologi VR merupakan kaedah pengintegrasian elemen digital bagi menyediakan maklumat secara lebih menarik dan mudah difahami ke arah meningkatkan kesedaran orang awam terhadap kepentingan alam sekitar, termasuklah sumber air.\nMenurut Ketua Setiausaha KASA, Yang Berbahagia Dato\u2019 Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, penggunaan teknologi digital seperti VR secara tidak langsung dapat membuka minda masyarakat, dan seterusnya mengetahui dengan lebih mendalam tentang isu alam sekitar, serta mengetahui tanggungjawab setiap individu, organisasi dan institusi dalam usaha melestarikan sumber air di negara ini.\nTambah beliau, teknologi VR yang dibangunkan sejak tahun 2019 ini adalah hasil usaha sama antara penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia dengan kerjasama daripada syarikat tempatan Teras Berkat (M) Sdn. Bhd. Setakat ini, sebanyak tiga modul VR Pelestarian Alam Sekitar telah dibangunkan, iaitu air, sungai dan perubahan iklim." "Fenomena Tengah Hari Tanpa Bayang di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Shah Alam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Bandar raya Kuala Lumpur, Putrajaya dan Shah Alam serta beberapa bandar lain akan mengalami fenomena tengah hari tanpa bayang pada 28 Mac 2022. Fenomena ini merupakan susulan daripada peristiwa ekuinoks yang berlaku pada 21 Mac 2022 apabila matahari berada tepat di garisan khatulistiwa. Semasa peristiwa tersebut, seluruh dunia mengalami waktu malam dan siang yang sama panjang, iaitu sebanyak 12 jam malam dan 12 jam siang.\nFenomena ekuinoks yang berlaku menandakan perubahan musim, iaitu bermulanya musim bunga di hemisfera utara serta musim luruh di hemisfera selatan. Fenomena ini dipanggil sebagai fenomena tengah hari tanpa bayang kerana pada waktu tengah hari, matahari akan berada tepat di atas kepala setiap orang di sepanjang garisan khatulistiwa. Keadaan ini menyebabkan bayang kepala dan badan akan jatuh ke tapak kaki seolah-olah tiada bayang yang jatuh ke bumi.\nWalau bagaimanapun, kedudukan Malaysia yang berada sedikit ke utara daripada garisan khatulistiwa menyebabkan negara ini tidak mengalami fenomena tengah hari tanpa bayang pada 21 Mac 2022 yang lalu. Namun begitu, Malaysia telah mula mengalami fenomena ini pada 23 Mac 2022 di beberapa bandar seperti Serian, Sri Aman dan Betong di Sarawak serta Kukup di Johor.\nFenomena ini juga akan berlaku di bandar lain pada tarikh yang berbeza hingga bandar terakhir, iaitu bandar Kudat dan Jambongan di Sabah pada 7 April 2022. Matahari akan semakin teranjak ke latitud utara, iaitu ke negara seperti Thailand, Vietnam dan Kemboja selepas tarikh tersebut.\nMenurut Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Yang Berhormat Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba, seluruh Keluarga Malaysia perlu menghayati fenomena tengah hari tanpa bayang ini. Orang ramai digalakkan untuk keluar dari rumah lebih awal daripada masa yang telah dilampirkan di dalam jadual untuk memerhatikan perubahan bayang-bayang sendiri ataupun bayang-bayang objek lain di sekitar kawasan masing-masing.\nUntuk maklumat lanjut berkaitan dengan fenomena ini, Keluarga Malaysia boleh merujuk jadual fenomena tengah hari tanpa bayang seperti dalam gambar di bawah." "Bersosial Meningkatkan Prestasi Mental Individu Lebih Berusia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBekerja dari rumah dan tinggal di dalam rumah telah menjadi kebiasaan kepada orang ramai sejak dua tahun yang lalu. Terdapat kajian yang memberikan amaran kepada orang ramai agar tidak terlalu selesa dengan kehidupan sosial yang tidak aktif.\nPenyelidik dari Penn State melaporkan bahawa mengekalkan kehidupan sosial yang aktif hingga usia tua boleh membantu orang dewasa meningkatkan keupayaan mental mereka setiap hari.\nKajian itu menyimpulkan bahawa apabila orang dewasa yang berumur antara 70 tahun hingga 90 tahun mempunyai interaksi sosial yang lebih kerap dan menyenangkan, mereka menunjukkan fungsi kognitif yang lebih kuat dalam beberapa hari akan datang.\nKajian yang dilakukan oleh Ruixue Zhaoyang, Penolong Profesor Penyelidikan Pusat Penuaan Kesihatan Penn State adalah satu daripada kajian yang menunjukkan bahawa sama ada seseorang itu mempunyai interaksi sosial dalam sehari boleh menjejaskan prestasi kognitif pada hari yang sama atau hari yang berikutnya.\nPada hakikatnya, mereka mendapati bahawa faedah kognitif mempunyai interaksi sosial yang menyenangkan dalam tempoh masa yang singkat adalah kejutan yang menggembirakan dan boleh menjadi kawasan yang menjanjikan untuk kajian intervensi pada masa hadapan. Mencari cara untuk menahan dan menghalang serangan Alzheimer demensia dan penyakit Alzheimer secara khusus merupakan masalah utama di seluruh dunia. Walaupun kira-kira enam juta rakyat Amerika kini hidup dengan Alzheimer, pegawai kesihatan mengunjurkan jumlah itu meningkat kepada 13 juta menjelang tahun 2050.\nLebih membimbangkan apabila kematian berkaitan dengan Alzheimer telah meningkat sebanyak 16 peratus sejak permulaan wabak COVID-19. Lebih memburukkan keadaan apabila perubatan moden masih belum membangunkan ubat yang berkesan bagi menyembuhkan penyakit Alzheimer. Dengan mengambil kira perkara ini, pengkaji mengatakan adalah penting untuk mencari cara lain bagi melawan kemerosotan mental pada usia tua, terutamanya sebelum mencapai peringkat klinikal.\nMenurut Ruixue Zhaoyang lagi, penyakit Alzheimer dan demensia lain memberikan beban yang besar kepada pesakit serta keluarga dan penjaga mereka yang mendapat penyakit tersebut. Adalah penting untuk mencari faktor risiko yang boleh diubah suai untuk penurunan kognitif sebelum mereka maju ke peringkat klinikal penyakit Alzheimer. Pengasingan sosial adalah satu daripada faktor risiko untuk demensia.\nPasukan penyelidik mengumpul data terhadap 312 orang dewasa yang lebih tua dalam tempoh 16 hari dengan menggunakan telefon pintar mereka untuk mencapai penemuan ini. Setiap hari, peserta akan melaporkan jumlah interaksi sosial yang mereka lakukan dan mereka berinteraksi dengan siapa dan sama ada tindakan ini adalah pengalaman positif ataupun negatif.\nPara penyelidik ini melakukan sebanyak lima kali aktiviti berasingan sepanjang hari. Para penyelidik mengira interaksi digital atau berasaskan telefon sebagai aktiviti sosial dalam eksperimen ini. Di samping itu, setiap warga emas yang terlibat juga perlu melengkapkan tiga ujian kognitif lain seperti ujian menilai kelajuan dan perhatian pemprosesan, mengukur memori kerja spatial dan mengukur pengikatan memori ciri intra-item.\nPenyelidik mendapati bahawa setiap kali seseorang itu sering berinteraksi dengan rakan rapat pada hari tertentu, mereka biasanya mendapat markah yang lebih tinggi pada ujian kognitif berbanding dengan orang lain yang kurang kerap berinteraksi dengan rakan rapat atau keluarga. Yang menariknya, apabila orang dewasa yang lebih tua tidak mengalami jenis interaksi sosial tertentu untuk beberapa waktu, mereka menunjukkan prestasi yang lebih baik pada ujian kognitif pada hari mereka bersosial.\nSebagai contohnya, jika seseorang itu tidak bercakap dengan keluarga mereka dalam beberapa minggu, mereka biasanya mendapat markah yang lebih tinggi pada hari mereka berinteraksi.\nSebagai kesimpulannya, Ruixue Zhaoyang menyatakan bahawa kekurangan interaksi sosial yang positif dalam kehidupan seharian boleh menjadi faktor risiko kritikal untuk penurunan fungsi kognitif hari yang seterusnya. Orang dewasa yang lebih tua secara relatifnya kurang dalam pengalaman interaksi sosial tertentu berpotensi mendapat manfaat yang paling banyak daripada campur tangan yang membantu untuk meningkatkan tahap biasa interaksi sosial mereka dalam kehidupan seharian." "UiTM Perintis Rakan Alam Sekitar Kluster Kampus\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi institusi pengajian tinggi pertama dinobatkan sebagai perintis Rakan Alam Sekitar (RAS) Kluster Kampus.\nMenteri Alam Sekitar dan Air, Yang Berhormat Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan perkara tersebut dalam Majlis Pelancaran RAS 2.0 dan Majlis Penutup Sustain The World Virtual Camp (STWVC) 2022 pada pagi ini di Dewan Anjung Sri Budiman, UiTM Shah Alam.\n\n\u00a0Semua warga UiTM disyorkan menyertai RAS dan memanfaatkan platform ini dengan sebaik mungkin untuk kepentingan bersama.\nBeliau juga menyatakan bahawa selain Kluster RAS Kampus, RAS juga akan berpaksikan kepada empat kluster lain, iaitu Kluster RAS Agensi; Kluster RAS Sekolah; Kluster RAS Industri; dan Kluster RAS Komuniti.\nDalam majlis tersebut, beliau mengumumkan sumbangan sebanyak RM20 000 kepada Rakan Alam Sekitar UiTM Student Chapter sebagai tanda sokongan berterusan kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).\n\u201cKASA akan mengadakan kerjasama dengan pihak UiTM berkaitan dengan usaha melestarikan alam sekitar. Saya difahamkan Perjanjian Persefahaman antara KASA dan UiTM telah disemak di peringkat kementerian dan akan dipersetujui kelak,\u201d ujarnya lagi.\nDalam ucapannya juga, beliau yakin bahawa program Sustain The World Virtual Camp 2022 mampu menggarap sinergi pintar dalam merintis kejayaan yang besar dalam usaha melestarikan alam sekitar.\nMenurutnya lagi, program tersebut merupakan platform untuk membincangkan topik semasa dan usaha yang boleh dilakukan oleh generasi muda untuk melestarikan alam sekitar.\nTiada lain tujuannya adalah untuk membudayakan gaya hidup lestari, mengadvokasi idea bernas bagi menambah baik polisi semasa.\nBeliau juga menggalakkan program ini diadakan secara berkala dengan skala penyertaan yang lebih luas.\nTurut hadir dalam majlis tersebut ialah Puan Noor Afifah Abdul Razak, Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar), KASA; Profesor Dato\u2019 Ir. Ts. Dr. Hj. Mohd Fozi Ali, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), UiTM; Encik Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar; dan Profesor Dr. Hamidah Mohd Saman, Dekan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni, Kolej Pengajian Kejuruteraan, UiTM." "Merealisasikan Generasi Bebas Rokok\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kini, sebanyak 20 peratus atau kira-kira 6 juta Keluarga Malaysia merupakan perokok. Walaupun rokok dibenarkan perdagangannya, namun begitu komoditi ini memberikan kesan buruk kepada kesihatan perokok dan orang di sekelilingnya atau disebut juga sebagai perokok pasif.\nMenerusi Agenda Nasional Malaysia Sihat yang dirasmikan pada tahun 2020 dan diperkasakan pada tahun 2021, kempen Malaysia Sihat Sejahtera telah dilancarkan bagi menggiatkan pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong hidup sihat. Satu daripada fokus bagi merealisasikan hasrat ini ialah penggemblengan usaha Keluarga Malaysia untuk bebas daripada tabiat dan ketagihan merokok, sama ada rokok konvensional ataupun rokok elektronik.\nMenurut Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Kesihatan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Wan Azrin Izani Wan Mohd. Zain, \u00a0kempen yang dilaksanakan oleh KKM bertujuan untuk membebaskan generasi muda masa ini daripada tabiat merokok.\nTambah beliau, era pandemik telah menjadikan Keluarga Malaysia membudayakan kebiasaan baharu dengan sentiasa memakai pelitup muka. Hal ini bermakna orang ramai memahami bahawa pelitup muka boleh mencegah penularan virus yang menyebabkan kesihatan terancam, terutamanya berkaitan dengan saluran pernafasan.\nMengulas lebih lanjut, beliau berkata virus tersebar melalui titisan air liur, kemudiannya bermutasi dan kini bergerak di udara. Orang ramai lebih terdedah untuk dijangkiti virus ini dengan lebih mudah dan pantas.\nKajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati bahawa para perokok berisiko mengalami jangkitan dua kali ganda berbanding dengan bukan perokok. Malaysia berada dalam peralihan fasa endemik bermula hari ini. Orang ramai memahami pihak kerajaan telah melonggarkan beberapa prosedur operasi standard berkaitan dengan pencegahan penularan COVID-19. Namun begitu, hal ini tidak bermakna orang ramai bebas untuk melakukan sebarang aktiviti, khususnya aktiviti yang boleh menjejaskan kesihatan individu itu atau orang lain.\nSelain fasa endemik, seluruh Keluarga Malaysia juga akan menempuh bulan Ramadan, iaitu bulan suci yang sebenarnya mempunyai banyak peluang untuk Keluarga Malaysia berhenti daripada tabiat merokok. Rokok telah diketahui memberikan kesan penyakit kepada perokok primer dan perokok pasif. Selain itu, tabiat merokok juga akan memberikan beban ekonomi kepada Keluarga Malaysia. Tabiat merokok turut menyebabkan ketagihan kerana rokok sebenarnya mengandungi dadah yang disebut sebagai nikotin.\nKajian yang dilakukan pada tahun 2018 mendapati bahawa remaja yang terlibat dengan rokok konvensional adalah sebanyak 202 ribu orang, manakala sebanyak 143 ribu orang pula terlibat dengan rokok elektronik, termasuklah golongan remaja perempuan. Data ini tidak boleh dipandang remeh, apatah lagi negara masih dibebani dengan kesan pandemik COVID-19. Hasil kajian juga menyatakan bahawa menjelang tahun 2030, kerajaan akan menanggung kos hingga RM8.77 bilion untuk merawat tiga jenis penyakit yang diakibatkan oleh tabiat merokok.\nBeliau turut menjelaskan bahawa pada bulan puasa didapati paras kotinin air liur para perokok akan menurun. Kesannya menyebabkan perokok berasa kering pada ruang mulutnya, namun begitu tetap tidak menghalang mereka untuk berpuasa. Hal ini boleh menjadi pemangkin kepada perokok untuk berhenti daripada meneruskan tabiat ini.\nBeliau juga mencadangkan agar perokok hendaklah meminum banyak air kosong berserta mengambil buah-buahan semasa berbuka puasa dan digalakkan memakan kurma. Dengan meningkatkan amal ibadah dan mengunjungi masjid, yakni tempat larangan merokok juga boleh membantu para perokok kekal bebas rokok di sepanjang bulan Ramadan. Keadaan ini menjadi titik permulaan membebaskan diri daripada merokok.\nKKM turut menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai yang berhasrat untuk berhenti merokok, iaitu dengan menghubungi KKM di talian 03-8883 4400. Perokok akan diberikan perundingan mengubah tingkah laku untuk berhenti merokok. Orang ramai juga dialu-alukan untuk hadir ke fasiliti KKM yang berdekatan sama ada hospital atau institusi yang berkaitan bagi mendapatkan perkhidmatan berhenti merokok." "Bahasa Melayu Membentuk Jati Diri dan Kepemimpinan Pelajar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKepemimpinan ialah satu proses interaksi di antara individu dengan kumpulan atau khususnya di antara individu dengan keseluruhan ahli-ahlinya yang menganggotai sesebuah kumpulan. Bahasa pula bersifat menyeluruh yang mengandungi prinsip menepati klasifikasi sesuatu yang dikuasai dan juga bersifat konvensional (warisan) yang hadir atau diwarisi daripada naluri semula jadi atau asuhan.\nPerpaduan pula merupakan proses menyatupadukan seluruh masyarakat untuk membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan bangga akan negara. Keluarga Malaysia berjiwa Malaysia. Sokongan ini diperkukuhkan dengan sistem jaringan sosial di bawah kesaksamaan sosial untuk semua. Hubungan emosi perpaduan. Titik persamaannya perlu diteroka dan jurang perbezaannya perlu segera diatasi untuk memastikan hasrat masa hadapan akan tercapai\nSehubungan dengan itu, program Dialog Kepemimpinan Generasi Muda Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Pelajar Malaysia di China telah berjaya diadakan dengan tajuk \u201cKepemimpinan Pelajar Mengangkat Bahasa Kebangsaan\u201d secara dalam talian pada 25 Mac 2022. Seseorang pelajar itu perlu mempunyai kemahiran berbahasa kebangsaan yang baik dan di samping itu juga perlu menguasai bahasa asing dengan baik. Keunikan dan keistimewaan ini menjadikan rakyat Malaysia mampu menguasai pelbagai bahasa.\nSejarah negara menunjukkan bahawa bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca di Alam Melayu dan telah melayakkan bahasa Melayu dijulang sebagai bahasa kebangsaan dan digunakan secara rasmi di negara ini. Bahasa ini juga sebagai bahasa pemersatu dan pembina identiti rakyat Malaysia. Malaysia sebagai tanah air yang penuh keharmonian dan memiliki silang budaya serta rakyatnya saling hormat-menghormati di samping kepelbagaian bangsa, agama dan budaya menjadi sumber kekuatan Keluarga Malaysia.\nSejarah juga merekodkan, sarjana China, I- Tsing (abad ke-7 Masihi) belajar bahasa Sanskrit di Alam Melayu, iaitu antara bahasa yang paling awal dan banyak mempengaruhi kosa kata bahasa Melayu. Stamford Raffles pula yang pandai berbahasa Melayu telah dihantar oleh pihak British untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang negeri-negeri Melayu dan akhirnya beliau menjadi ikon penting dan dianggap sebagai pengasas Singapura moden.\nDemikian antara sekelumit sejarah antarabangsa bahasa Melayu pada masa lampau. Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dapat diertikan sebagai bahasa yang menjadi lambang penyatuan suara yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia antara seorang individu dengan individu yang lain yang berfungsi sebagai alat menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum di sesebuah negara.\nSehubungan dengan itu, berdasarkan faktor kepemimpinan, satu perkara yang menjadi iktibar ialah para pelajar ini juga menterjemahkan nilai jati diri yang kuat dengan menguasai bahasa kebangsaan negara mereka. Pemimpin Pelajar Malaysia sentiasa menjadi contoh kepada pelajar lain. Dalam hal ini, kita perlu tahu dan sedar akan semangat jati diri sebagai rakyat Malaysia yang sebenarnya. Bahasa kebangsaan bukan sahaja sebagai alat komunikasi tetapi merupakan lambang jati diri dalam mencintai negara Malaysia. Bahasa jiwa Bangsa.\nPerbincangan bahasa pula merupakan wahana pembentuk dan pemindah memori bangsa. Memori bangsa pula ialah himpunan nilai sesuatu bangsa. Oleh itu, pastinya kita mahu jati diri yang tidak berubah yang tentu sekali pada minda dan nilainya. Mungkin pada jasadnya kita masih rakyat Malaysia, tetapi dari segi budaya dan rohaninya kita mungkin kehilangannya jika tidak memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan keluarga Malaysia. Pengalaman membawa bersama nilai kasih sayang dan perpaduan serta bergaul mesra dengan setiap etnik di Malaysia dalam mengangkat martabat bahasa kebangsaan disuarakan oleh para pelajar ini semasa sesi dialog. Sebagai rakyat Malaysia, darah merah yang mengalir di badan itu ialah darah rakyat Malaysia dan perlu dihayati nilai sebenar menjadi rakyat Malaysia yang sejati.\nSesi dialog tesebut juga diselang-selikan dengan nyanyian lagu oleh Jeryl Lee dan Masya Masyitah yang bertajuk Sahabat Sejati untuk tema filem pendek bersempena dengan ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik antara China dengan Malaysia. \u201cHadiah Masa\u201d sebagai tanda solidariti Malaysia dan China juga berjaya menjentik hati para pelajar yang memuji keindahan muzik dan lirik lagu tersebut. Hal ini jelas menunjukkan bahawa industri kreatif dapat menarik minat para pelajar antarabangsa kepada bahasa Melayu. Lagu-lagu berbahasa Melayu turut mendapat perhatian masyarakat antarabangsa. Contohnya, penyanyi tempatan negara ini seperti\u00a0 Allahyarham Sudirman Haji Arshad sebagai perintis, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Yuna, Shila Amzah dan yang terkini, Aina Abdul.\nDalam pada itu, industri kreatif antara cabang yang boleh dipergiatkan dan diseiringkan dalam usaha mendiasporakan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. Kita patut kagum apabila pelajar Universiti Pengajian Asing Beijing telah berjaya mendeklamasikan sajak dalam bahasa Melayu dengan baik dan menarik telah perhatian para tetamu kehormat dari China dan negara asing bersempena dengan Majlis Sambutan Kemerdekaan yang ke-64 di Beijing, China, yang merupakan anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.\nSelain bahasa, aspek budaya juga boleh ditonjolkan seperti yang dilakukan oleh Nur Liyana Razali, gadis berusia 26 tahun dari Papar, Sabah, yang menarik perhatian ramai apabila mengenakan pakaian etnik Murut Nabai dari Sabah ketika menerima Ijazah Sarjana Kejuruteraan dari University of Manchester di United Kingdom baru-baru ini.\nProgram Diplomasi Kebudayaan Kementerian Luar Negara turut mengembangkan bahasa Melayu dengan penggunaan bahasa Melayu dalam surat rasmi kerajaan ke luar negara dengan terjemahan dalam bahasa Inggeris atau bahasa negara sasaran. Selain itu, meluaskan kursus bahasa, budaya dan warisan negara di kedutaan untuk keluarga kakitangan dan juga masyarakat setempat di negara asing seperti yang telah dimulakan di beberapa kedutaan. Kementerian Luar Negeri perlu menetapkan peranan Atase Pendidikan dan Kebudayaan di kedutaan sebagai agen promosi pendidikan dan kebudayaan Malaysia di luar negara.\nKursus intensif terjemahan dan interpretasi juga perlu diperbanyakkan untuk melahirkan penterjemah dan jurubahasa yang diperlukan di forum antarabangsa, khasnya bahasa Melayu ke dalam bahasa-bahasa utama dunia. Dalam memajukan bahasa Melayu di dunia, kerjasama padu diperlukan daripada Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya Negara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan agensi-agensi lain.\u00a0 Kepentingan Kursi Pengajian Bahasa Melayu di China, Eropah dan Australia yang banyak menawarkan program Bahasa Melayu perlu dihidupkan kembali. Strategi ini mengukuhkan lagi harapan kita betapa bahasa Melayu memang layak menjadi warga bahasa dunia kerana bahasa Melayu antara bahasa besar dunia.\nSama-samalah kita menjunjung semangat Keluarga Malaysia dengan jiwa Malaysia yang diakhiri kata-kata yang berikut:\n\u201cTeladan yang baik dalam memperkasakan bahasa Melayu memerlukan penerapan penghayatan dan nilai cinta akan bahasa tersebut. Pemimpin pelajar perlu berkomunikasi dan memantapkan tahap potensi diri serta merealisasikannya. Minda, hati dan jiwa akan mencipta semangat yang luar biasa dengan adanya cinta kepada negara.\u201d" "Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022 Dilancarkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Minggu Sains Negara (MSN) pada tahun ini dijenamakan sebagai Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia (MSNKM) 2022 selaras dengan gagasan konsep Keluarga Malaysia yang digariskan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob. MSNKM 2022 akan berlangsung secara maya sepenuhnya bermula dari bulan April 2022 hingga bulan Oktober 2022.\nMSKM 2022 telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri MOSTI, Yang Berhormat Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim semalam yang disiarkan secara dalam talian melalui laman web www.minggusainsnegara.com, laman Facebook MOSTI dan Minggu Sains Negara. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan MSN yang kini dikenali sebagai MSKM merupakan inisiatif kerajaan melalui MOSTI dalam usaha menyemai aktiviti pembudayaan dan pengaplikasian STI dalam kalangan rakyat Malaysia.\nMSKM 2022 dirangka secara holistik secara dalam talian meliputi seluruh negara dan melibatkan semua pihak. MSN merupakan antara program tahunan pihak MOSTI tetapi pada tahun ini penganjurannya lebih istimewa kerana program Malaysia Techlympics 2022 turut dilaksanakan seiringan sebagai usaha bersepadu kerajaan ke arah pembudayaan STI di negara kita.\nTambahnya lagi, acara kemuncak MSKM 2022 akan berlangsung pada 10 November 2022 bersempena dengan sambutan Hari Sains Sedunia.\nPada tahun ini, MSNKM menyasarkan sebanyak 1.5 juta penyertaan dalam kalangan pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan masyarakat umum dengan tema \u201cMerakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi\u201d. Tema ini sejajar dengan hasrat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menjadikan sains sebagai suatu perkara yang lazim dalam kalangan rakyat dan teknologi sebagai pemangkin ekonomi di samping mengintegrasikan teknologi dalam kehidupan seharian demi pembangunan negara yang mapan.\nPelbagai pengisian dengan lebih daripada 110 program yang boleh disertai dalam MSKM 2022. Antaranya ialah seminar, ceramah, kuiz, pameran maya, bengkel secara dalam talian, pelantikan ikon Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), pertandingan membuat video dan lain-lain lagi.\nMSNKM 2022 mempunyai konsep yang berbeza-beza berteraskan kepada bidang fokus utama yang berubah pada setiap bulan. Terdapat tujuh bidang yang telah disenarai pendek sebagai bidang fokus utama dalam MSNKM 2022, iaitu Kesihatan Planet, Kimia dan Bioteknologi, Kegunaan Aman Nuklear, Inovasi Sosial, Kejuruteraan, Nanoteknologi dan Angkasa. Kepelbagaian bidang fokus ini dipilih berdasarkan kesesuaian setelah mengambil kira sambutan pelbagai hari berkepentingan berkaitan STI.\nMSN merupakan satu daripada inisiatif MOSTI dalam usaha untuk memupuk minat masyarakat terhadap ilmu sains. Tiga objektif utama penganjuran MSN pada setiap tahun adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan STI dalam kehidupan seharian, menarik minat dan meningkatkan bilangan pelajar yang memilih jurusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik dan menghargai serta mengiktiraf sumbangan dan kejayaan individu dan pihak tertentu dalam bidang sains." "Menghargai Sumber Air\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAir merupakan sumber keperluan asas bukan sahaja bagi manusia tetapi untuk semua benda hidup di muka bumi. Dianggarkan sebanyak 74 peratus permukaan bumi ini diliputi dengan air. Bahkan, setiap kehidupan berasal daripada air. Oleh sebab itu, manusia ataupun kehidupan lain tidak dapat hidup di planet lain berikutan ketiadaan sumber air.\nBerdasarkan kajian, manusia boleh hidup lebih daripada seminggu tanpa makanan tetapi hanya dapat hidup beberapa hari tanpa air. Situasi ini menggambarkan bahawa betapa pentingnya air dalam kehidupan hingga Hari Air Sedunia disambut pada 22 Mac setiap tahun. Tarikh ini telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1992 di Rio de Janeiro, Brazil. Sambutan Hari Air Sedunia sebagai bentuk peringatan kepada masyarakat untuk sentiasa melakukan usaha melestarikan sumber air. Tema sambutan pada tahun ini memfokuskan air bawah tanah yang walaupun tidak kelihatan di permukaan tetapi manfaatnya sangat signifikan kepada kehidupan.\nMalaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan sumber air kerana menerima kira-kira 2000 milimeter taburan hujan setahun. Sumber air yang utama di Malaysia berpunca daripada sungai, tasik dan air bawah tanah. Hampir 95 peratus sumber bekalan air di negara ini adalah daripada air permukaan dengan pembinaan empangan bagi takungan air serta sumber hidroelektrik, berbanding dengan sumber air bawah tanah yang hanya menyumbang sebanyak lima peratus daripada jumlah keperluan keseluruhan.\nHal ini dibuktikan dengan kajian yang dilakukan oleh Chan Ngei Weng yang bertajuk Water Resources Management in Malaysia: NGO Perspectives yang menyatakan bahawa Malaysia mempunyai kira-kira 189 lembangan sungai yang menyumbang kepada anggaran tahunan 900 billion meter padu sumber air di Malaysia. Situasi ini disebabkan oleh Malaysia memiliki kawasan bukit dan tanah tinggi yang menjadi kawasan tadahan air semula jadi, dan seterusnya membentuk aliran sungai ke kawasan yang lebih rendah.\nSecara logiknya, air itu tiada nilainya dalam ekonomi selain dikaitkan sebagai\u00c2\u00a0 sumber milik awam dan melibatkan aktiviti kebajikan. Ruhana Padzil dalam kajiannya, Analisis Isu Air Singapura-Johor: Permintaan dan Bekalan menyatakan bahawa Adam Smith turut menerangkan kepentingan air dapat disamakan dengan kepentingan udara kepada manusia. Sebelum ini, sumber air dianggap sebagai suatu yang tidak pernah diberikan nilai ekonomi. Kini, semua pihak bersetuju bahawa sumber air sebenarnya mempunyai nilai komersial yang begitu tinggi dalam ekonomi. Sebagai contohnya, Malaysia menjual bekalan air kepada Singapura melalui negeri Johor disebabkan oleh negara tersebut mengalami kekurangan sumber bekalan air berikutan kepesatan industri pelabuhan dan perindustrian di negara tersebut.\nSelain itu, air sebagai sumber asli yang paling tidak ternilai dan mempunyai kepentingan yang pelbagai terhadap kehidupan seperti kegunaan domestik, digunakan oleh sektor awam, perindustrian, perdagangan, dan pertanian. Di Malaysia, kegunaan air bagi tujuan domestik dianggarkan melibatkan 40 peratus hingga 60 peratus daripada keseluruhan bekalan air negara. Antara kegunaan domestik adalah seperti memasak, mandi, mencuci baju, dan sebagainya. Krisis air di Selangor yang semakin kerap berlaku akhir-akhir ini ialah bukti yang jelas pentingnya air dalam kehidupan, dan seterusnya membuka mata masyarakat tentang kepentingannya. Menurut Persatuan Air Malaysia, sebanyak 259 000 daripada 419 000 kejadian terputus bekalan air telah berlaku di Selangor. Secara puratanya, penduduk di Selangor, terutamanya di Lembah Klang berhadapan dengan masalah bekalan air dua kali ganda dalam tempoh sebulan.\nSecara umumnya, bekalan air bersih berkurangan akibat permintaan yang meningkat selari dengan pertambahan penduduk, perbandaran dan sektor ekonomi, khususnya perindustrian. Krisis air yang berlaku di Malaysia melibatkan pelbagai faktor seperti kurangnya taburan hujan, pembaziran sumber air oleh masyarakat, pencemaran sungai, dan kebocoran paip. Isu krisis air ini seharusnya membuka mata semua pihak kerana menurut PBB, dunia sedang menghadapi masalah untuk mendapatkan sumber air. Dijangkakan menjelang tahun 2025, dua daripada tiga orang tidak akan menikmati bekalan air bersih. Oleh itu, PBB telah mengisytiharkan tempoh dari tahun 2005 hingga tahun 2015 sebagai Dekad Tindakan Antarabangsa yang bertemakan \u201cWater For Life\u201c.\nBerdasarkan pandangan penulis, sikap masyarakat yang sambil lewa dan acuh tidak acuh berkaitan dengan penggunaan air secara berhemah merupakan faktor utama penyumbang kepada berlakunya krisis air di Malaysia. Berdasarkan statistik daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), setiap rakyat Malaysia menggunakan sebanyak 201 liter air setiap hari, lebih tinggi daripada yang telah ditetapkan oleh PBB, iaitu sebanyak 165 liter air. Rakyat Malaysia menggunakan air secara berlebihan dalam kehidupan harian mungkin disebabkan oleh kadar tarif air yang murah di negara ini, selain dasar air percuma untuk 20 meter padu terawal seperti pandangan yang diutarakan oleh aktivis alam sekitar, Gurmit Singh.\nDi samping itu, Meng Yew Choong dalam penulisannya yang bertajuk Malaysia Faces Looming Water Crisis yang disiarkan dalam akhbar Star menyatakan bahawa pembaziran air berlaku dalam kalangan masyarakat disebabkan oleh kebanyakan individu tidak mengetahui jumlah air yang digunakan kerana bayaran bil air hanya merupakan komponen kecil daripada perbelanjaan isi rumah bulanan. Oleh itu, mereka mengambil mudah dengan membiarkan air mengalir ketika memberus gigi, mandi terlalu lama dan tidak menutup pili air selepas digunakan.\nPelbagai langkah boleh diambil untuk menangani krisis air, termasuklah dalam aspek pengurusan air negara, kempen kesedaran dan sebagainya. Pengurusan air di negara ini hanya memberikan tumpuan dalam pengurusan sumber air semata-mata tanpa memberikan keutamaan kepada pengawalan dan penggunaan sumber air tersebut dalam jangka masa panjang. Di samping itu, pengurusan air di negara ini yang berdasarkan kepada pengurusan penawaran air tidak lagi dapat menjamin pengurusan air yang mampan seperti zaman dahulu disebabkan oleh kepesatan ekonomi selain pertambahan bilangan penduduk Malaysia saban tahun. Bahkan, kebanyakan lembangan sungai di Malaysia telah mencapai had bekalan maksimum masing-masing. Sebaliknya, sistem tersebut perlu digantikan dengan sistem pengurusan permintaan air demi memastikan kelestariannya.\nSementara itu, kempen kesedaran berkaitan dengan amalan penggunaan air secara berhemah juga perlu dilaksanakan secara berkala dan lebih agresif demi memastikan kelestarian bekalan air. Selain kerajaan, badan bukan kerajaan juga perlu mengorak langkah berganding bahu menjalankan kempen kesedaran seperti yang telah dilaksanakan oleh Water Watch Penang (WWP). WWP telah memperkenalkan pengurusan permintaan air kepada penduduk di Pulau Pinang dengan mendidik mereka yang bergelar ibu bapa sebagai pengurus air bukan sahaja di rumah, malah di tempat kerja juga. Di samping itu, pertubuhan itu turut mengadakan pelbagai aktiviti dan program bersama-sama pelajar sekolah dan guru untuk mendidik mereka melindungi dan menghargai sumber air selain memahami kepentingannya dalam kehidupan.\nOrang ramai bukan sahaja memerlukan kempen kesedaran berkaitan dengan penggunaan air, malah perlu cekap dalam penjimatan air. Dalam hal ini, pengguna atau masyarakat perlu dididik berkaitan dengan amalan kitar semula air seperti kempen kitar semula barangan, misalnya surat khabar, botol plastik, kertas, dan sebagainya. Sebagai contohnya, kita boleh menggunakan air basuhan sayur-sayuran untuk menyiram pokok bunga dan tadahan air hujan untuk mencuci kereta. Hal ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada bekalan air terawat, terutamanya pada musim panas.\nMenurut Jurutera Eksekutif Persatuan Pengguna Air dan Tenaga, Syarina Mohd Yusof, penuaian air hujan tidak dapat dijalankan apabila berlakunya musim panas. Oleh itu, penjimatan air melalui penggunaan semula air, terutamanya pada musim panas oleh masyarakat adalah langkah yang proaktif untuk mengelakkan berlakunya krisis air.\nKerajaan Malaysia juga boleh mengambil contoh usaha yang dilakukan oleh kerajaan Singapura mengurangkan penggunaan air dan memastikan rakyatnya sedar akan nilai dan kepentingan air bersih dalam kehidupan. Antara usaha tersebut termasuklah mengadakan latihan, pendidikan dan publisiti tentang memulihara air, menggalakkan pengitaran semula air yang tidak boleh diminum seperti air yang digunakan untuk sektor industri dan air laut.\nSeterusnya, menurut Ruhana Padzil dalam kajiannya menyatakan bahawa usaha ini diwujudkan melalui kempen menjimatkan air dan memberikan intensif fiskal seperti pemotongan cukai sebagai insentif menyekat pembaziran. Cukai penjimatan air ini berasaskan jumlah air yang digunakan dan denda terhadap setiap pembaziran dan penyalahgunaan air. Bahkan, kerajaan Singapura telah melantik water auditor bagi memeriksa jumlah air yang digunakan dalam sektor industri ataupun domestik selain menaikkan harga air bagi pengguna domestik yang menggunakan air lebih daripada 40 meter sebulan.\nSebagai kesimpulannya, air merupakan sumber yang tidak ternilai kepada manusia dalam memastikan kelangsungan sesebuah tamadun. Hal ini kerana tanpa sumber air, ekonomi sesebuah negara itu tidak dapat membangun, malah manusia juga akan mati. Masyarakat seharusnya menyedari akan kepentingan penggunaan air secara berhemah agar kelestarian air terjamin, dan seterusnya dapat mengelakkan berlakunya krisis air di Malaysia.\nPelbagai kaedah dan saluran boleh diaplikasikan bagi berkongsi dan menyalurkan maklumat sekali gus dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu air pada zaman yang serba canggih ini. Melalui ilmu dan maklumat tersebut, negara ini boleh melindungi sumber air dan mengurangkan masalah krisis air yang sering berlaku di sekitar Lembah Klang." "Memanfaatkan Bahan Api Generasi Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDemi mengekalkan paras pemanasan global berada di bawah 1.5 darjah Celsius, pembakaran bahan api fosil harus dihentikan segera. Pengeluaran minyak, gas dan arang batu global perlu dikurangkan sebanyak tiga peratus setiap tahun bagi mengehadkan kesan pemanasan global.\nWalau bagaimanapun, industri perlombongan bahan bakar fosil di Malaysia tidak menunjukkan batasan yang ditetapkan dalam Perjanjian Iklim Paris. Sepatutnya,\u00a0 sebanyak 60 peratus simpanan petroleum dan gas metana fosil global serta 90 peratus simpanan arang batu mestilah kekal berada di perut bumi untuk mengelakkan pemanasan global berterusan.\nMengapakah bahan api fosil berbahaya? Hal ini kerana arang batu, petroleum dan gas semula jadi menghasilkan karbon dioksida dalam kuantiti yang banyak apabila dibakar. Pelepasan karbon dioksida memerangkap haba di atmosfera dan menyebabkan pemanasan global yang mengancam kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.\nSebagai contohnya, pembakaran bahan api fosil arang batu menyebabkan suhu global meningkat secara purata sebanyak 0.3 darjah Celsius hingga 1.0 darjah Celsius. Walaupun sekadar 1.0 darjah Celsius, namun begitu kesannya kepada bumi amat ketara. Penggunaan bahan api fosil yang berterusan boleh menyebabkan suhu global meningkat lebih daripada 1.5 darjah Celsius menjelang tahun 2050. Jika hal itu berlaku, paras laut akan meningkat, iklim lebih ekstrem, biodiversiti lenyap, spesies pupus, bekalan makanan berkurangan, tahap kesihatan menurun, dan berjuta-juta populasi dunia akan mengalami kebuluran.\nSelain itu, bahan api fosil juga menyebabkan pencemaran udara yang membawa kepada peningkatan penyakit berkaitan dengan pernafasan. Kesan sampingannya yang lain ialah pencemaran air, terutamanya semasa proses mengekstrak bahan api fosil atau ketika mengendalikan sisa produk.\nNamun begitu, manusia memerlukan bahan api fosil untuk bergerak, makan, mempunyai pakaian yang cantik, melakukan pekerjaan harian, dan bercuti. Semua keperluan manusia ini perlu dihasilkan di kilang, diperoleh daripada ladang, kenderaan, kapal terbang, mesin, dan jentera juga memerlukan tenaga untuk menggerakkannya. Dianggarkan sebanyak 80 peratus daripada tenaga tersebut dihasilkan daripada bahan api fosil.\nJika keadaannya begitu, bagaimanakah bahan api fosil boleh dikekalkan berada di perut bumi agar peningkat suhu global berada di bawah paras 1.5 darjah Celsius? Jawapannya mudah sahaja, iaitu dengan berhenti menggunakan bahan api fosil sebagai sumber tenaga utama. Kita boleh menggunakan air, udara atau matahari yang ada di sekeliling tanpa perlu memusnahkan alam.\nDengan menggunakan air, udara dan matahari dapat menggerakkan kereta? Hal ini tidak mustahil kerana kereta solar boleh digerakkan dengan menggunakan cahaya matahari. Tetapi bolehkah air dan udara digunakan untuk mengisi tangki minyak kereta, kapal laut atau kapal terbang?\nMenerusi kajian terbaharu yang dilakukan oleh sekumpulan saintis ETH Zurich yang dimuatkan dalam jurnal Atmospheric Environment, mereka telah berjaya mencipta bahan api daripada matahari, air dan udara. Bahan api tersebut bukan digunakan untuk kereta tetapi kapal terbang yang jauh lebih besar dan berat berbanding dengan kenderaan darat. Alasannya, industri penerbangan adalah antara faktor penyumbang perubahan iklim yang disebabkan oleh pelepasan gas karbon dioksida dan nitrogen oksida.\nSelain itu, kepulan asap yang keluar daripada ekzos jet mencipta awan putih sementara yang memantulkan cahaya matahari pada waktu siang dan memerangkap haba yang dilepaskan pada waktu malam. Sejumlah dua per tiga daripada kesan sampingan industri penerbangan yang menyumbang kepada perubahan iklim adalah dalam bentuk pelepasan gas nitrogen oksida, wap air, aerosol sulfat, dan jelaga. Pelepasan gas ini menyumbang kepada dua peratus hingga tiga peratus pelepasan karbon global. Jika dilihat pada angka itu, tidaklah begitu besar. Namun begitu, penyelidikan yang dilakukan oleh saintis merupakan satu daripada langkah mengurangkan kebergantungan industri terhadap bahan api fosil. Tujuannya adalah untuk mengurangkan pemanasan global dan mengekang perubahan iklim drastik.\nSebagai sebahagian daripada projek itu, saintis dari Switzerland telah membangunkan satu sistem untuk menghasilkan bahan api cecair karbon semula jadi daripada matahari dan udara. Sistem baharu itu telah dibangunkan di atas bumbung makmal ETH Zurich University. Jurutera telah mengujinya sama ada bahan api generasi baharu yang dihasilkan itu boleh digunakan dalam dunia sebenar atau sekadar sesuai untuk uji kaji di dalam makmal sahaja.\nSementara itu, bahan api karbon semula jadi dihasilkan melalui tiga langkah. Pertamanya, unit perangkap udara akan menyerap karbon dioksida dan air daripada atmosfera. Langkah kedua pula ialah unit solar mengekstrak tenaga daripada cahaya matahari, kemudian mengubah elemen tersebut menjadi campuran karbon monoksida dan hidrogen (singas). Langkah terakhir pula adalah singas diproses menjadi kerosin, metanol dan bahan hidrokarbon yang lain untuk menjadi bahan api kapal terbang dan kapal laut.\nWalaupun sistem tersebut telah diuji sejak tahun 2019, saintis hanya mengesahkan bahan bakar tersebut \u201cstabil dan boleh dipercayai\u201d pada awal bulan November 2021 melalui kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature pada 3 November 2021. Ketika ini, saintis sedang berusaha untuk meningkatkan teknologi yang dipanggil sebagai kerosin solar agar mencapai pengeluaran tahap industri dengan kos efektif, iaitu satu liter pada harga 1.20 hingga 2.00 paun sterling.\nSetelah dua tahun, sistem itu berjaya melepasi kebolehlaksanaan teknikal keseluruhan proses termokimia untuk menukarkan cahaya matahari dan udara persekitaran menjadi bahan api. Sistem itu juga boleh beroperasi dengan stabil dalam keadaan solar sebenar dan menyediakan platform unik untuk penyelidikan serta pembangunan selanjutnya. Teknologi tersebut sememangnya boleh digunakan untuk pengeluaran berskala besar.\nPadang Pasir Tempat Ideal\nUntuk mendapatkan harga kerosin solar pada harga 1.20 hingga 2.00 paun sterling per liter, kita memerlukan pengeluaran yang berskala besar. Jika dilihat dalam konteks, kos kerosin fosil (bahan api yang biasa digunakan oleh kapal terbang) hanya 0.40 paun sterling seliter. Hal ini menyukarkan kerosin solar untuk menandinginya.\nBagi mendapatkan harga serendah itu, sebuah kawasan yang luas dan mempunyai cahaya matahari yang mencukupi amat diperlukan. Demi memikirkan hal tersebut, saintis telah menjalankan analisis dari pelbagai sudut, dan akhirnya padang pasir adalah pilihan yang tepat.\nPersekitaran padang pasir yang sentiasa menerima pancaran cahaya matahari sepanjang tahun merupakan tempat yang paling sesuai bagi menghasilkan bahan api solar. Tidak seperti bahan api bio, potensinya untuk menggantikan bahan api fosil amat terhad kerana kekurangan tanah pertanian. Teknologi kerosin solar boleh memenuhi permintaan bahan api kapal terbang dunia hanya dengan menggunakan satu peratus daripada keluasan padang pasir di dunia. Malah, pembangunan teknologi tersebut pada skala besar tidak bersaing dengan sektor pertanian atau mengganggu pengeluaran bekalan makanan manusia ataupun ternakan.\nPelepasan gas rumah hijau dapat dikawal sepenuhnya dan mencapai pada peringkat sifar jika proses pembinaan kemudahan teknologi bahan api solar berpandukan konsep sifar pelepasan gas rumah hijau. Bagi menjamin hal ini terjadi seperti yang dirancang, bahan yang digunakan untuk membina kemudahan pusat penghasilan kerosin solar seperti kaca dan besi mesti dihasilkan dengan menggunakan tenaga hijau dan kaedah karbon semula jadi.\nSokongan Pembuat Polisi\nPelaksanaan pada skala kecil untuk tujuan uji kaji memang sudah membuktikan keberkesanan teknologi tersebut. Namun begitu, apabila menyasarkannya pada pengeluaran berskala besar, kelemahan teknologi ini adalah terletak pada kos pelaburan awal yang tinggi. Kos itu boleh diatasi hanya dengan campur tangan politik dan pembuat dasar. Sekiranya pembuat dasar atau pemimpin Kesatuan Eropah bersatu hati menggubal undang-undang penggunaan kerosin solar, mungkin hal yang sebaliknya akan berlaku.\nMenurut ketua pasukan penyelidik dari University of Potsdam, Profesor Johan Lilliestam, instrumen sokongan sedia ada dari Kesatuan Eropah, iaitu \u201cperdagangan pelepasan dan pengimbangan\u201d tidak memadai untuk merangsang permintaan pasaran bahan api solar. Bagi mengatasi masalah ini, beliau mencadangkan agar diwujudkan sistem kuota khusus teknologi Eropah untuk bahan api kapal terbang. Menerusi cara itu, syarikat penerbangan perlu memperuntukkan bahagian tertentu yang dikhaskan untuk bahan api solar. Hal ini bermakna syarikat penerbangan tidak boleh menggunakan bahan api fosil sepenuhnya dan perlu ada peratusan tertentu untuk bahan api solar.\nSeterusnya, bagi peringkat awal, syarikat penerbangan harus menerima ketetapan bahawa 0.1 peratus daripada keseluruhan penggunaan bahan api adalah daripada kerosin solar ketika harga bahan api tersebut masih tinggi kerana kapasiti pengeluarannya rendah. Hal ini bukan sahaja membantu mengembangkan\u00a0 teknologi tersebut, malah menjadikan industri penerbangan lebih hijau.\nLangkah itu akan memberikan kesan kepada kos penerbangan, namun begitu dari sudut lain dapat merangsang pertumbuhan dan pengeluran kerosin solar serta mengembangkan lagi penyelidikan untuk menjadikan teknologi itu lebih efektif dengan harga lebih rendah. Kuota itu ditingkatkan dari semasa ke semasa secara beransur-ansur hingga kerosin solar menguasai pasaran tanpa perlu langkah sokongan selanjutnya dan menjadi kebiasaan baharu." "Vaksinasi di Rumah untuk Warga Emas dan OKU\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBerikutan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin dalam sidang media sebelum ini, warga emas dinasihatkan untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19 dan suntikan dos penggalak bagi meningkatkan perlindungan diri daripada virus COVID-19 dengan segera.\nBermula pada 1 April 2022, status vaksinasi untuk penerima vaksin primer Sinovac bagi 18 tahun ke atas dan warga emas berusia 60 tahun ke atas yang menerima semua jenis vaksin akan bertukar daripada \u201cLengkap Vaksinasi\u201d kepada \u201cTidak Lengkap Vaksinasi\u201d dalam aplikasi MySejahtera jika tidak mengambil dos penggalak.\nOleh itu, ProtectHealth Corporation telah menganjurkan sebuah program vaksinasi di rumah bagi warga emas dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Program ini bertujuan untuk memudahkan proses bagi mendapatkan vaksin penggalak untuk OKU dan warga emas yang tidak berupaya untuk bergerak atau terlantar di katil.\nSekiranya terdapat ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang mempunyai masalah untuk hadir ke Pusat Pemberian Vaksin, individu itu boleh memohon Perkhidmatan Vaksinasi Terus ke Rumah melalui beberapa kaedah seperti yang berikut:" "Hemofilia Penyakit Kekurangan Faktor Pembekuan Darah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHemofilia dan penyakit Von Willebrand ialah penyakit pendarahan yang diwarisi. Penyakit yang dahulunya dikenali sebagai penyakit diraja yang membabitkan anak lelaki kerabat diraja Ratu Victoria dan keluarga diraja Rusia, Sepanyol dan Jerman ini juga dikenali sebagai darah cair.\nSeseorang yang menghidapi hemofilia lebih berisiko untuk mengalami komplikasi pendarahan semasa dan selepas pembedahan, walaupun prosedur tersebut adalah kecil. Bilangan dan keterukan pendarahan bergantung pada faktor berkaitan penyakit atau keterukan hemofilia, faktor berkaitan pesakit seperti penyakit keradangan gusi dan salur darah serta faktor berkaitan intervensi seperti jenis dan bilangan gigi yang dicabut atau keluasan permukaan luka. Langkah seperti pemberian faktor pembekuan darah secara terus ke dalam aliran darah lazimnya digunakan sebelum, semasa dan selepas pembedahan untuk mencegah komplikasi perdarahan.\nHemofilia merupakan penyakit atau keadaan yang merujuk masalah platelet di bawah paras normal. Berdasarkan Persekutuan Hemofilia Dunia, dianggarkan sebanyak 500 000 pesakit hemofilia di seluruh dunia dengan kadar satu dalam 10 000 kelahiran. Setiap individu berisiko menghidap penyakit hemofilia, namun kekerapannya berbeza mengikut negara. Di Malaysia, penghidap hemofilia dianggarkan sebanyak 2000 orang. Hemofilia berlaku disebabkan kekurangan faktor pembekuan darah dan pesakit berisiko untuk mendapat pendarahan spontan berpanjangan yang tidak setimpal dengan tahap kecederaan yang dilihat secara mata kasar. Hal ini menyebabkan pesakit kehilangan darah yang berlebihan dan mungkin mengakibatkan maut.\nDi negara ini, Pusat Darah Negara ialah organisasi yang terlibat secara langsung dalam mengenal pasti penyakit membabitkan pendarahan seperti hemofilia. Hemofilia juga merupakan penyakit genetik jantina terangkai yang boleh diwarisi (a sex-linked genetic hereditary disease). Kelazimannya, penyakit ini dihidapi oleh lelaki berbanding dengan perempuan. Gejala hemofilia boleh ditunjukkan seperti berlakunya pendarahan berpanjangan pada sendi, otot dan tisu lembut serta lebam pada permukaan kulit. Penghidap hemofilia boleh mengalami pendarahan dalaman dan di luar badan.\nHemofilia terbahagi kepada dua, iaitu hemofilia A dan hemofilia B. Setiap jenis hemofilia ini akan dikenal pasti melalui ujian saringan dan pengesahan susulan yang melibatkan ahli keluarga bagi mengenal pasti ahli keluarga yang berisiko. Biasanya, penyakit keturunan ini dibawa oleh kromosom X yang melibatkan kaum lelaki. Seseorang pesakit yang mengalami kekurangan faktor pembekuan VIII dikenali sebagai hemofilia A, manakala bagi kekurangan faktor pembeku IX dikenali sebagai hemofilia B.\nSecara klinikalnya, hemofilia dikategorikan sebagai tiga tahap berdasarkan paras faktor pembekuan darah seseorang. Pada tahap serius, seseorang pesakit itu mempunyai tahap faktor pembekuan darah kurang daripada satu peratus. Seseorang pesakit yang berada pada tahap ini berisiko tinggi untuk mengalami pendarahan walaupun mengalami kecederaan yang kecil.\nSeseorang pesakit hemofilia akan menjalani rawatan menggantikan faktor pembekuan darah atau rawatan infusi sepanjang hayatnya. Rawatan yang perlu dijalani adalah dengan menggunakan Faktor\u00a0 VIII untuk hemofilia A dan Faktor IX untuk hemofilia B.\nTerdapat pelbagai aktiviti dan program yang dijalankan bagi menyedarkan masyarakat mengenai hemofilia. Orang ramai sering diingatkan untuk melakukan saringan darah secara berkala bagi memastikan faktor pembekuan darah berada pada tahap optimum.\nPertubuhan Hemofilia Malaysia telah mengeluarkan komik The Hemophilia Mythbusters sebagai inisiatif untuk memberikan pendedahan serta maklumat berkenaan dengan penjagaan, memahami serta menghindari mitos yang berkaitan dengan penyakit hemofilia secara menyeluruh.\nWalaupun hemofilia merupakan penyakit yang berpunca daripada genetik, namun pencegahan awal boleh dilakukan melalui ujian darah. Rawatan awal bagi masalah ini dapat mencegah pendarahan yang berlaku daripada menjadi semakin teruk hingga tidak dapat dihentikan.\nPenghidap hemofilia disarankan mengambil makanan yang sihat dan mengekalkan berat badan supaya tidak menyebabkan pendarahan pada sendi di kaki, terutamanya dalam kes hemofilia yang teruk.\u00a0 Di samping itu, senaman secara berkala juga perlu dilakukan bagi menguatkan otot dan sendi. Walau bagaimanapun, jenis senaman yang dilakukan mesti dipertimbangkan. Penghidap hemofilia harus mengelakkan aktiviti yang dapat memberikan kecederaan, sama ada kecederaan ringan atau kecederaan teruk.\n\u00a0\nPenulis ialah Felow Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK), Universiti Teknologi MARA dan Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi MARA." "Raja Muda Perlis Titah Segera Dapatkan Vaksin COVID-19 untuk Kanak-kanak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 \u201cKadar vaksinasi kanak-kanak di negeri Perlis yang berumur lima tahun hingga 11 tahun masih rendah, iaitu sebanyak 25.6 peratus. Bagi mengurangkan keterukan jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak, rakyat Perlis diseru agar membawa anak masing-masing menyertai Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) dan segera mendapatkan vaksin COVID-19 seperti yang telah ditetapkan,\u201d titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan ke-27 bagi tahun 2022 baru-baru ini.\nMenurut DYTM Raja Muda Perlis, para majikan juga boleh membenarkan pekerja mereka untuk membawa anak masing-masing menghadiri janji temu vaksinasi. Kanak-kanak yang mempunyai komorbiditi hendaklah patuh dengan janji temu dan mengambil ubat-ubatan seperti aturan yang telah ditetapkan.\nDalam program itu juga, DYTM Raja Muda Perlis turut berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat MAIPs bernilai RM700 secara tunai, beras dan bekalan makanan mentah serta sumbangan wang dan bakul makanan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Maybank Islamic Berhad kepada para asnaf. Ali Mat (63 tahun) di Behor Empiang, Che Jamil Osman (69 tahun) di Kechor dan Duriyyah Bulat (47 tahun) di Sempering adalah antara asnaf yang menerima sumbangan daripada DYTM Raja Muda Perlis.\n\nPada masa yang sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Sirajuddin Hashim menasihati ibu bapa atau penjaga perlu sentiasa mengutamakan kesihatan anak masing-masing.\n\u201cDidik mereka menjaga kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan menggunakan sabun atau cecair pembunuh kuman dan membiasakan mereka memakai pelitup muka apabila berada di luar rumah,\u201c katanya.\nTambah beliau lagi, kanak-kanak juga perlu dilatih mengamalkan pemakanan yang seimbang bagi meningkatkan daya imuniti untuk menentang jangkitan kuman. Kebijaksanaan ibu bapa dalam mengelakkan anak mereka daripada berada di kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19 juga dapat membantu mengurangkan jangkitan virus ini dalam kalangan kanak-kanak." "MBPJ Guna Sistem CSS di Bazar Ramadan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah menggunakan teknologi inframerah yang dikenali sebagai Crowd Controlled System (CCS) dengan sistem kiraan untuk mengawal bilangan pengunjung yang datang ke bazar.\nKaedah sistem kawalan orang ramai secara automatik ini mempunyai binaan sensor bagi mencatat bilangan pengunjung yang memasuki bazar Ramadan pada satu-satu masa dengan tujuan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan sebagai langkah mencegah penularan COVID-19.\nMenurut Penolong Pengarah Keusahawanan Mikro MBPJ, Ahmad Hafiz Ahmad Razif, sekiranya bilangan orang melebihi had yang ditetapkan, siren amaran dan anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA) akan menghalang orang ramai daripada memasuki bazar Ramadan.\n\u201cKami mengehadkan bilangan maksimum orang yang dibenarkan memasuki bazar Ramadan sebanyak 500 orang sahaja pada satu-satu masa,\u201d ujarnya.\nBeliau turut menjelaskan penggunaan sistem ini adalah inisiatif pertama MBPJ dan melibatkan syarikat swasta untuk menyediakan sistem kawalan tersebut.\n\u201cSistem tersebut akan memberikan data bilangan orang yang memasuki bazar Ramadan secara langsung kepada MBPJ,\u201d tambahnya lagi.\nSkrin dengan paparan papan pemuka ini diletakkan di kedua-dua belah pintu masuk dan keluar bazar yang menunjukkan bilangan orang yang masuk, keluar dan bilangan orang yang berada dalam kawasan bazar Ramadan.\n\u201cSebagai contohnya, skrin pada pintu masuk akan menunjukkan sebanyak 300 orang dan skrin pada pintu keluar bazar akan menunjukkan 200 orang, jadi kita dapat mengimbangi jumlah orang yang memasuki bazar Ramadan,\u201d tambahnya.\nSetakat ini, sistem CSS ini buat pertama kalinya digunakan di dua bazar Ramadan terpilih, iaitu bazar Ramadan di SS 6/1, Kelana Jaya dan Seksyen 4, Damansara." "Planet Kita, Kesihatan Kita: Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Sambutan Hari Kesihatan Sedunia pada tahun ini bertemakan \u201cPlanet Kita, Kesihatan Kita\u201d. Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sambutan pada tahun ini adalah untuk meningkatkan kesedaran terhadap langkah dan tindakan penting yang perlu diambil untuk memastikan penduduk dan planet sentiasa sihat.\nKualiti udara, air bersih dan pemakanan merupakan tiga aspek yang diberikan keutamaan pada tahun ini kerana kaitannya di seluruh dunia. Pada masa ini, adalah amat penting untuk terus memberikan tumpuan kepada kesejahteraan masyarakat, terutamanya selepas dua tahun masyarakat di seluruh dunia menempuh tahun yang sukar dalam memerangi COVID-19.\nMenurut wakil WHO di Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Dr. Rabindra Abeyasinghe, pandemik tersebut menyerlahkan betapa berkait rapatnya kesejahteraan manusia dengan planet. Oleh itu, sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2022 memberikan tumpuan kepada planet dan kesihatan serta langkah yang diperlukan untuk mengekalkan kesejahteraan kedua-duanya.\nSecara keseluruhannya, kualiti udara di Malaysia juga telah bertambah baik. Walau bagaimanapun, Malaysia masih lagi menghadapi masalah pencemaran udara akibat fenomena jerebu. Bahkan, Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah dibangunkan sebagai usaha untuk mengatasi masalah jerebu yang sentiasa berulang di negara ini. KKM juga sentiasa menyemak garis panduan kesihatan awam untuk mengurangkan kesan kesihatan yang berlaku akibat jerebu.\nSelain jerebu, merokok juga antara faktor yang menyumbang kepada udara yang tidak bersih di Malaysia. Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah yang serius untuk memastikan hak bukan perokok untuk menikmati gaya hidup sihat dan udara bersih bermula dengan larangan merokok di semua kedai makan di seluruh negara yang telah berkuat kuasa pada 1 Januari 2019. Yang terkini, kerajaan juga sedang mengkaji pelaksanaan undang-undang baharu bagi melarang aktiviti merokok, pemilikan sebarang produk tembakau, termasuklah rokok elektronik kepada generasi yang dilahirkan selepas tahun 2005.\nDalam usaha untuk membekalkan air bersih kepada masyarakat pula, KKM telah melaksanakan program sanitasi alam sekitar luar bandar sejak sekian lamanya melalui unit Bekalan Air dan Sanitasi Alam sekitar (BAKAS). Program ini telah menyumbang kepada liputan hampir penuh bekalan air bersih dan selamat di seluruh negara, terutamanya kepada masyarakat luar bandar.\nSelain itu, KKM juga telah membantu memastikan kualiti air minuman yang dibekalkan adalah selamat dan berkualiti melalui Program Pengawasan Kualiti Air Minuman dalam usaha mengurangkan penyakit bawaan air atau penyakit berkaitan dengan kualiti bekalan air awam yang rendah. KKM turut bercadang untuk memperkenalkan Akta Kualiti Air Minum bagi memperkukuh perlindungan kepada kesihatan masyarakat.\nKerajaan Malaysia juga terus komited untuk memastikan kesejahteraan masyarakatnya dengan meningkatkan status pemakanan, mengurangkan penyakit tidak berjangkit berkaitan dengan diet dan memperkukuh keselamatan makanan dan pemakanan melalui Dasar Pemakanan Kebangsaan 2.0.\nDi samping itu, Malaysia dengan kerjasama industri makanan juga menyokong usaha global untuk melindungi kesihatan rakyat dan planet kita dengan menangani pengeluaran makanan dan minuman yang tidak sihat sambil membantu mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau. Antaranya adalah dengan mengenakan cukai eksais terhadap minuman manisan bergula yang diharapkan mampu mengurangkan permintaan dan penggunaan minuman yang tidak sihat ini.\nMenurut Menteri KKM, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin, kita sebenarnya berhutang kepada planet ini dan menjadi tanggungjawab semua pihak bagi memastikannya selamat dan sihat untuk generasi masa hadapan. Masyarakat juga perlu berusaha untuk kekal cergas dan sihat untuk diri sendiri, keluarga serta masyarakat." "Arak Mengundang Padah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArak merupakan suatu minuman yang boleh mengundang bahaya dan mendedahkan manusia kepada perbuatan seperti perlakuan jenayah, kerosakan masyarakat, perpecahan, dan keganasan rumah tangga.\nMenurut Ahli Jawatankuasa Unit Dakwah dan Program Bukan Islam (PEACE), Ahmad Fadhlullah Hilmi Mohd Fazilah, Allah mengurniakan nikmat yang pelbagai kepada manusia, terutamanya nikmat akal yang membezakan manusia dengan makhluk lain. Kestabilan hidup manusia sama ada sebagai individu atau masyarakat bergantung pada kesempurnaan dan kekuatan akalnya.\nTambah beliau, semua jenis minuman yang memabukkan akan merosakkan akal dan menyebabkan jiwa peminum arak ini menjadi lemah, dikuasai oleh hawa nafsu, timbul rasa benci-membenci, dan persengketaan dalam kalangan manusia hingga putus hubungan persaudaraan serta hilang rasa kasih sayang.\n\u201cLebih dahsyat lagi, kesan meminum arak menghalang manusia untuk mengingati Allah dan menjauhi mereka daripada rahmat, kurniaan dan ihsan-Nya,\u201d jelas beliau melalui program Q&A About Islam secara dalam talian yang dianjurkan oleh Pusat Islam Universiti Utara Malaysia.\nMengulas lanjut tentang hal ini, beliau mengatakan bahawa arahan menjauhi arak adalah lebih kuat dan ditekankan dalam Islam berbanding dengan tegahan meminum arak. Hal ini termasuklah tegahan lain yang berkaitan dengannya seperti melayan seseorang itu meminum arak, membeli atau menjual arak, manakala arahan menjauhi arak pula bermaksud amaran supaya menjauhi segala perkara yang berkaitan dengan arak.\nJelasnya, Islam bukan sahaja mengharamkan meminum arak, malah mendekatinya juga dilarang sama sekali kerana meminum arak bukanlah suatu budaya yang sihat dan memang patut dijauhi. Arak merujuk semua perkara atau benda yang memabukkan walau apa-apa pun namanya, dan hukum meminumnya adalah sama dengan hukum arak, iaitu haram.\nMaksud mabuk ialah pemikiran terlalu kacau dan menghalang fungsi akal kerana tidak dapat mengawalnya dengan bijak dan sepatutnya. Maksud memabukkan pula ialah sesuatu yang diminum biasanya menyebabkan seseorang itu mabuk tanpa mengira kadarnya.\nMengulas kesan alkohol terhadap tubuh manusia, beliau mengatakan bahawa minuman beralkohol mengandungi etanol, iaitu sebatian yang tergolong dalam kumpulan dadah yang boleh menindas fungsi sistem saraf pusat, boleh melambatkan tindak balas fizikal dan mental. Etanol juga merupakan dadah yang boleh mendatangkan kebergantungan atau ketagihan jika diambil setiap hari.\nMenurutnya lagi, seseorang yang mabuk itu akan hilang koordinasi gerak tubuh dan gangguan terhadap pertimbangan dan kewarasan fikiran, dan akhirnya mereka boleh terjatuh, mengalami kemalangan, bergaduh, tercedera atau hilang ingatan. Kesemua ini merupakan komplikasi atau kesan kemudaratan jangka pendek berkaitan dengan pengambilan minuman beralkohol. Kesan lain akibat mabuk adalah dikenal sebagai pengar (hangover).\nAntara gejala pengar alkohol termasuklah sakit kepala, loya, muntah, cirit birit, mengalami gangguan pergerakan usus, dan menggeletar selama beberapa jam. Kesemua gejala ini bergantung pada jumlah alkohol dalam darah pada ketika itu. Gejala ini akan hilang apabila semua alkohol dalam peredaran darah telah dikumuhkan daripada badan.\nSebelum mengakhiri program, beliau mengatakan bahawa kemudaratan alkohol kepada sistem saraf dan otak merupakan kesan jangka masa panjang alkohol yang paling kerap dilaporkan dalam kalangan orang dewasa. Antara kesan alkohol terhadap kesihatan mental ialah kecelaruan tingkah laku dan fikiran, keresahan dan kebingungan, kekeliruan, hilang ingatan sementara atau kekal, kemurungan, kecenderungan untuk membunuh diri. dan psikosis. Oleh sebab itu, Islam mengharamkan arak." "Risiko Pemanduan Terganggu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTumpuan pemandu akan terganggu apabila pemandu mengalihkan perhatian kepada perkara lain ketika memandu. Sebenarnya, pemandu tidak boleh melakukan beberapa perkara kerana memandu ialah tugas yang mencabar dari segi kognitif. Melakukan perkara lain sambil memandu adalah seperti mengenakan tuntutan atau beban tambahan ke atas pemanduan dan hal ini boleh menjejaskan kemampuan seseorang itu untuk memandu.\nPemanduan yang terganggu berpotensi menyebabkan pemandu kurang menumpukan perhatian atau membuat satu-satu keputusan yang tidak tepat tentang kaedah selamat untuk mengawal kenderaan. Piawaian pemanduan yang rendah ini bererti pemandu kurang berkemampuan untuk menjangkakan bahaya di hadapan. Hal ini mencetuskan gangguan tumpuan dan boleh menyebabkan kemalangan.\nMenurut statistik, sebanyak 2.5 juta kemalangan kereta yang melibatkan pemandu terganggu di seluruh dunia. Statistik juga mendedahkan bahawa pemanduan yang terganggu hanya mengambil masa selama tiga saat untuk berlakunya kemalangan kereta selepas pemandu terganggu. Di Amerika Syarikat misalnya, kira-kira lapan orang maut setiap hari akibat kemalangan kereta yang melibatkan pemanduan yang terganggu. Pada tahun 2109, sebanyak 3142 orang telah dilaporkan terbunuh disebabkan oleh pemanduan terganggu di negara tersebut. Walau bagaimanapun, perincian data berkaitan dengan pemanduan terganggu di Malaysia masih belum dicerap dengan sepenuhnya. Secara umumnya, terdapat tiga jenis gangguan tumpuan ketika sedang memandu, iaitu gangguan penglihatan, manual dan kognitif.\nGangguan penglihatan bermaksud pemandu mengalihkan pandangan daripada jalan raya seperti melihat sistem sistem penentududukan sejagat (GPS), melihat papan iklan di tepi jalan atau memeriksa tali pinggang keledar anak melalui cermin pandang belakang. Apabila pemandu mengalihkan pandangan dari jalan raya, walaupun hanya untuk sesaat, pemandu sebenarnya telah mengalihkan tumpuan mereka dari jalan. Hal ini sangat berbahaya kerana pemandu tidak dapat menilai persekitaran secara konsisten.\nGangguan manual pula merujuk keadaan apabila pemandu melepaskan tangan dari stereng atas sebarang alasan untuk tempoh masa tertentu. Perbuatan seperti mencari sesuatu di dalam beg, makan dan minum, bersolek atau menukar stesen radio boleh dikategorikan sebagai gangguan manual. Tanpa kedua-dua tangan di atas stereng, masa tindak balas pemandu akan terjejas, begitu juga dengan keupayaannya untuk mengemudi kenderaan. Sebaik-baiknya, pemandu meletakkan kedua-dua tangan pada stereng dengan posisi jarum jam di kedudukan sepuluh dan dua untuk mengelakkan pemandu terpesong dari jalan raya atau memasuki aliran lalu lintas dari arah yang bertentangan.\nGangguan kognitif berlaku apabila minda seseorang tidak memberikan fokus yang sebaik-baiknya semasa memandu. Sesetengah gangguan adalah gabungan sebahagian atau semua jenis gangguan ini seperti menggunakan telefon bimbit.\nPemandu boleh melihat jalan raya dengan tangan berada pada stereng, namun jika fikiran pemandu tidak memberikan fokus, pemandu sebenarnya masih berada dalam keadaan terganggu. Secara ringkasnya, apabila perkara lain telah menarik perhatian, pemandu mungkin akan mengalami kesukaran untuk menumpukan perhatian. Hal ini menyebabkan pemandu kurang berwaspada dan berada dalam keadaan yang tidak selamat.\nBentuk dan tahap gangguan tumpuan ketika memandu boleh berbeza-beza. Hal ini termasuklah menggunakan telefon bimbit dan peranti elektronik, tercengang-cengang, membawa penumpang termasuklah kanak-kanak dan haiwan peliharaan, makan ketika memandu, melakukan aktiviti tidak bermoral ketika memandu dan mencari barang yang hilang.\nBukti menunjukkan bahawa gangguan yang disebabkan oleh penggunaan telefon bimbit boleh menjejaskan prestasi memandu melalui beberapa cara seperti masa tindak balas lebih panjang, terutamanya masa tindak balas membrek dan isyarat lalu lintas, keupayaan untuk kekal di lorong yang betul dan jarak ikutan yang lebih pendek. Selepas menggunakan telefon bimbit, otak pemandu memerlukan sekitar tiga belas saat untuk fokus semula kepada pemanduan.\nMenghantar pesanan teks juga boleh menjejaskan prestasi memandu dengan ketara. Dalam hal ini, pemandu muda lebih terdedah kepada kesan gangguan daripada menghantar pesanan teks. Kajian menunjukkan bahawa pemandu yang menggunakan telefon bimbit adalah empat kali ganda lebih berkemungkinan untuk terlibat dalam kemalangan. Penglihatan daripada jalan raya akan teralih selama lima saat setiap kali pemandu menghantar atau membaca pesanan teks.\nApabila seseorang itu memandu pada kelajuan 90 kilometer per jam, analoginya adalah seperti memandu sepanjang padang bola dalam keadaan mata tertutup. Statistik menunjukkan bahawa pemandu yang menghantar pesanan teks dan memandu adalah enam kali lebih berisiko terhadap kemalangan berbanding dengan pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk.\nBeberapa negara termasuklah Malaysia telah mengambil langkah untuk menggubal undang-undang berhubung dengan penggunaan telefon bimbit semasa memandu. Sesetengah negara menumpukan kepada penggubalan undang-undang untuk kumpulan berisiko tinggi seperti pemandu muda, manakala negara lain pula melaksanakan larangan menyeluruh penggunaan semua telefon bimbit, sama ada telefon bimbit itu dipegang atau bebas tangan.\nDi Malaysia, kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu adalah di bawah kaedah 17A, LN166/59 yang dikategorikan sebagai saman tidak boleh dikompaun dan kes perlu diselesaikan di mahkamah. Jika disabitkan kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan sehingga RM1000 atau penjara tidak lebih daripada tiga bulan. Sekiranya hal tersebut adalah sabitan kali kedua, hukuman denda sehingga RM2000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.\nDalam konteks ini, kempen untuk meningkatkan kesedaran awam berkaitan memandu tanpa menumpukan perhatian adalah penting dalam menangani masalah ini jika dilaksanakan sebagai sebahagian daripada strategi menyeluruh. Orang ramai boleh mengambil pengajaran daripada kejayaan usaha keselamatan jalan raya bagi menangani masalah memandu dalam keadaan mabuk di beberapa negara yang telah menyebabkan perbuatan ini dianggap sebagai pantang larang sosial.\nKempen kesedaran awam adalah perlu untuk meningkatkan kesedaran tentang risiko pemanduan supaya pengilang dan pengguna tidak mendesak untuk penambahbaikan teknologi dalam kenderaan. Kempen juga perlu dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran awam bahawa penggunaan telefon bimbit oleh pemandu pada hakikatnya mengganggu perhatian dan pemanduan.\nSecara umumnya, masyarakat mengetahui bahawa sistem teknologi dalam kenderaan boleh digunakan untuk melindungi daripada gangguan tumpuan. Sebagai contohnya, ciri-ciri amaran yang memberikan amaran kepada pemandu apabila kenderaan terpesong secara tiba-tiba daripada lorongnya dapat mengurangkan kecederaan yang berkait dengan gangguan tumpuan. Namun demikian, teknologi yang terdapat di dalam kereta juga\u00c2\u00a0 dilihat sebagai suatu gangguan kepada pemandu.\nDengan terdapatnya pelbagai penyesuaian teknologi di dalam kenderaan, pemandu lebih berkemungkinan untuk melihat pada skrin dan tidak menumpukan perhatian pada jalan raya. Oleh itu, hal ini perlulah dikaji secara holistik oleh para penyelidik dan pengeluar kenderaan supaya penggunaan teknologi dapat dimanfaatkan dengan sepenuhnya dalam mengurangkan gangguan semasa memandu.\nTerdapat satu lagi faktor gangguan yang perlu dititikberatkan, iaitu memandu dalam keadaan letih atau mengantuk. Penggunaan sistem pengautomatikan baharu yang berpanjangan boleh menyebabkan pemandu terlalu bergantung kepada sistem tersebut dan leka sepenuhnya daripada memberikan tumpuan kepada stereng dan jalan raya. Pemandu berpengalaman yang telah biasa menggunakan sistem pengautomatikan akan secara aktif memandu tanpa menumpukan tumpuan.\nWalaupun usaha untuk mengumpulkan bukti dalam bidang ini masih baharu berbanding dengan aspek keselamatan jalan raya yang lain, kerajaan mesti menunjukkan sikap proaktif bermula dari sekarang. Negara lain telah mencapai banyak kemajuan dalam bidang keselamatan jalan raya sejak beberapa dekad yang lalu. Jika negara ingin mengekalkan dan memperbaiki pencapaian ini, maka penting untuk kita menguruskan risiko dan manfaat teknologi yang digunakan ketika memandu.\nKegagalan untuk bertindak sekarang bukan sahaja akan menyukarkan orang ramai menangani masalah ini pada masa hadapan, tetapi juga boleh menyebabkan lebih banyak kecederaan dan kematian yang berlaku di jalan raya yang sepatutnya dapat dicegah.\n\u00a0\nTs. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff ialah Profesor Madya di Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia." "Hakikat Bahasa Melayu yang Tidak Boleh Dinafikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Terdapat beberapa contoh terbitan awal di Indonesia yang menunjukkan bahawa bahasa Melayu telah luas diguna pakai dalam urusan seharian masyarakat Indonesia. Berdasarkan beberapa bukti sahih yang terdapat pada manuskrip dan naskhah lama, bahasa Melajoe, iaitu bahasa Melayu dalam ejaan pengaruh Belanda telah lama bertapak di Indonesia.\nDalam hal ini, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, berharap agar semua pihak dapat memahami konsep bahasa Melayu itu sendiri. Menurutnya, bahasa Melayu tersebar di wilayah yang dikenal sebagai Alam Melayu atau Kepulauan Melayu (Malay Archipelago). Fakta itu terakam dalam sejarah yang tidak mungkin dapat dinafikan oleh sesiapa. Dalam hal ini, bukan untuk mencari salah sesiapa tetapi untuk sama-sama mengetahui dan memahami bahasa Melayu itu sendiri.\nDengan merujuk kenyataan beliau sebelum ini, bahasa Melajoe wujud dalam persuratan di Indonesia sebelum merdeka. Presiden Sukarno juga memilih bahasa Melayu sebagai bahasa nasional negara itu dan bahasa Indonesia pula hanya digunakan selepas termeterainya Sumpah Pemuda pada 28 Oktober 1928. Sebelum ini juga, bahasa Malajoe pernah dibincangkan kehadirannya dalam artikel majalah Tempo, yang bertarikh 18 Januari 2016.\nBukti penggunaan bahasa Melayu pernah wujud di Indonesia juga dapat dilihat berdasarkan suatu kenyataan daripada keputusan nombor 8 Kongres Bahasa Indonesia Kedua yang diadakan di Medan, Indonesia pada 28 Oktober 1954 hingga 2 November 1954, iaitu \u201cBahawa asal bahasa Indonesia ialah bahasa Melayu, dasar bahasa Indonesia ialah bahasa Melayu yang disesuaikan dengan pertumbuhannya dalam masyarakat Indonesia sekarang\u201d.\nSelain itu, terdapat beberapa contoh terbitan dalam bahasa Melajoe di Indonesia. Antaranya termasuklah akhbar seperti Soenting Melajoe dan Sompret Melayoe, Kitab Logat Melajoe, Warna Sari Melajoe, Peladjaran Bahasa Melajoe, \u2018Ilmoe Bahasa Melajoe, Hikayat Pandja tanderan, jaitoe jang dinamai oleh orang Melajoe Hikayat Galilah dan Daminah, English-Malay Dictionary = Kitab Dari Bahasa Inggris dan Melajoe, Kitab Arti Logat Melajoe dan banyak lagi.\nSehubungan dengan itu, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan juga yakin bahawa atas pemahaman tentang bahasa Melayu dalam rumpun Alam Melayu, \u00a0Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menyambut baik cadangan Perdana Menteri Malaysia tersebut. Menurutnya lagi, isu itu tidak perlu ditimbulkan dan dibesar-besarkan, kecuali ada niat pihak tertentu ingin menggagalkan persetujuan dan usaha tersebut.\nSementara itu, Yang Dipertua Dewan Negara, YB Senator Tan Sri Dato\u2019 Seri Utama Dr. Rais Yatim dalam kenyataannya semalam meminta semua pihak agar jangan tergesa-gesa memberikan pandangan politik mengenai isu bahasa Melayu dan bahasa Indonesia. Hal ini demikian kerana Presiden Indonesia telah pun bersetuju untuk sama-sama memperkasakan bahasa Melayu yang merupakan bahasa serumpun di rantau ini." "Manfaatkan AAIM untuk Pesakit Akut \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 \u201cHospital di seluruh negara diharapkan dapat menggunakan sebaik-baiknya Perubatan Dalaman Maju dan Akut atau Advanced Acute Internal Medicine (AAIM) untuk kebaikan para pesakit. Walau bagaimanapun, sebuah anjakan paradigma perlu dilakukan oleh pakar perubatan dan pihak hospital agar terus dapat memberikan manfaat kepada para pesakit akut,\u201d titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan menyempurnakan perasmian kursus dan bengkel Management of The Acutely Ill Medical Patient anjuran Malaysian Advanced Acute Internal Medicine and Ultrasound Society (MAAIMUSS) dan College of Physicians Malaysia secara maya, pagi tadi.\nMenurut baginda, tindakan ini juga haruslah disokong dan dijalankan di semua hospital di Malaysia kerana tempoh rawatan 72 jam yang pertama adalah sangat penting dan kritikal bagi menjamin keselamatan seseorang pesakit.\nBaginda juga berharap agar dapat melihat penubuhan Unit Perubatan Dalaman Akut yang akan menjadi pelopor dalam penerimaan dan penggunaan ciri penjagaan kesihatan ini dalam sistem perubatan di Malaysia. Penggunaan inovasi ini secara betul dan berkesan akan membuka laluan bagi Jabatan Perubatan Dalaman untuk mempunyai unit eksklusif yang tersendiri dan khas bagi memantau individu yang benar-benar memerlukan. Penggunaan unit ini terbukti berjaya mengurangkan kesesakan katil di wad perubatan dan meningkatkan prestasi penjagaan pesakit yang memasuki wad.\nSelain itu, inisiatif perubatan ini juga bertujuan untuk melatih dan mempersiapkan golongan barisan hadapan bagi menghadapi situasi yang genting dalam menangani kes yang melibatkan pesakit akut. Para petugas barisan hadapan juga akan belajar dan mengaplikasikan pengetahuan teori yang dimiliki di lapangan sebenar dalam mengurus pesakit.\nSeminar yang berlangsung di Hospital Universiti Malaya ini menyaksikan penyertaan sebanyak 50 orang peserta dalam kalangan doktor khas yang dipilih dari pelbagai pusat perubatan, termasuklah hospital Kementerian Kesihatan Malaysia, hospital universiti dan hospital swasta. Kumpulan ini dipilih agar para peserta yang menyertai bengkel ini akan dapat menyebarkan pengetahuan yang diperoleh kepada rakan mereka yang lain.\nAhli panel terdiri daripada tokoh dalam bidang neurologi, hematologi dan bidang perubatan dalaman maju dan akut. Kursus ini lebih menumpukan latihan amali supaya para peserta dapat mengaplikasikan konsep yang dipelajari terhadap secara praktikal.\nMengulas lanjut tentang hal ini, baginda mengatakan bahawa sejak dua tahun yang lalu, MAAIMUSS memainkan peranan yang kritikal bagi melatih dan membekalkan para pakar perubatan dalaman dengan kemahiran yang diperlukan untuk merawat pesakti yang kini semakin rumit, terutamanya dengan penularan wabak COVID-19. Perubatan dalaman maju dan akut di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) juga merupakan satu daripada benteng pertahanan negara dalam menghadapi ancaman COVID-19. HTF di Perlis telah berjaya membahagikan tenaga manusia dan juga mengguna pakai sumber yang ada dengan baik untuk melawan COVID-19.\nSementara itu, Presiden MAAIMUSS, Datuk Seri Dr. Paras Doshi menjelaskan bahawa bengkel ini memfokuskan penambahbaikan terhadap bidang perubatan dalaman yang sentiasa berdepan dengan krisis akut yang tidak dijangka berkenaan dengan pesakit kronik. Usaha untuk meningkatkan kesedaran berkaitan dengan keperluan untuk mempunyai asas yang kuat dalam patofisiologi dan penggunaan ultrabunyi dalam merumuskan pelan tindakan perawatan juga tidak dilupakan. Format dalam kursus dan bengkel ini akan dijadikan sebagai prototaip supaya dapat dilaksanakan dan diulang kembali di setiap negeri dan di negara luar, termasuklah Singapura.\nMAAIMUSS merupakan institusi AAIM di bawah naungan DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail." "Tingkat Usaha Menjaga Kesejahteraan Persekitaran\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru masyarakat supaya terus mengamalkan gaya hidup sihat dan amalan pengambilan makanan yang sihat bagi mengekalkan tahap kesihatan yang baik.\nMasyarakat tidak boleh alpa dan selesa dengan kualiti udara, bekalan air bersih dan nutrisi pemakanan yang dimiliki pada masa ini. Usaha untuk mengekalkan kesejahteraan persekitaran daripada pencemaran air dan udara perlu ditingkatkan.\nBersempena dengan sambutan Hari Kesihatan Sedunia yang diraikan pada 7 April setiap tahun, baginda mengingatkan rakyat untuk memastikan kesihatan diri dan planet terus terjaga demi kesejahteraan planet untuk generasi kini dan akan datang.\nBaginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menghadiri kempen \u201cPerlis Hebat: Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Tindakan\u201d anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).\nSementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Sirajuddin Hashim memaklumkan bahawa kempen Hari Kesihatan Sedunia yang bertemakan \u201cOur Planet, Our Health\u201d adalah penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dunia terhadap kepentingan mengekalkan dan melindungi kesihatan serta mitigasi, yakni mengurangkan krisis kesan perubahan iklim dunia.\nKualiti udara, bekalan air bersih dan nutrisi pemakanan adalah topik utama dalam kempen Hari Kesihatan Sedunia pada tahun ini. Permasalahan ini relevan kepada masyarakat dunia selepas mendepani dua tahun yang penuh cabaran ekoran pandemik COVID-19.\nTambah beliau, pandemik COVID-19 yang melanda dunia juga telah memperlihatkan kesejahteraan hidup manusia dan keadaan persekitaran dunia saling berkait.\n\u201cKesihatan kita dipengaruhi oleh bagaimanakah sikap kita menjaga persekitaran bumi kita itu sendiri?\u201d jelasnya lagi.\nSementara itu, baginda turut berkenan menyampaikan agihan zakat MAIPs bersempena dengan Program Kayuhan MAIPs Peduli yang turut diadakan bersama-sama dengan kempen ini kepada tiga orang asnaf terpilih di pinggir bandar Kangar, iaitu Rejab Choh, 84 tahun; [email\u00a0protected] Hashim, 78 tahun; dan Hamid Salleh, 77 tahun yang tinggal di pinggir bandar Kangar. Masing-masing menerima wang tunai, beras dan sekotak bahan makanan mentah.\n \nPada petang yang sama, DYTM Raja Muda Perlis turut berkenan mengunjungi bazar Ramadan di Bintong.\nHadir sama mengiringi keberangkatan baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor." "Gangguan Psikologi Kesan COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPernahkah anda berasakan diri tidak berguna, tertekan, kurang keyakinan diri sendiri atau diulit rasa bersalah tanpa sebab yang jelas? Adakah anda menyedari bahawa selain menyisihkan diri daripada keluarga serta rakan, anda tidak lagi mahu mengikuti aktiviti yang dahulunya amat digemari?\nMenurut Pegawai Psikologi Kanan, Pusat Kaunseling, Universiti Utara Malaysia, Faezah Nayan, perubahan pada corak makan dan tidur, pertambahan berat badan atau tidak berasa lapar sepanjang masa, berasa penat dan lesu, sukar menumpukan perhatian, sukar berfikir, mengingat atau membuat keputusan juga merupakan gejala yang menunjukkan seseorang itu mula mengalami gangguan psikologi.\nSelain itu, tanda gangguan psikologi yang berbahaya dan memerlukan rawatan segera termasuklah kerap mengalami sakit kepala, masalah penghadaman atau kesakitan kronik yang tidak dapat diatasi dengan pengambilan ubat, menunjukkan perlakuan yang melulu, mengambil dadah atau minuman beralkohol, atau\u00a0 menunjukkan perlakuan yang boleh membahayakan diri atau orang sekeliling.\nLebih menakutkan, terdapat juga individu yang mempunyai gangguan psikologi yang serius mempunyai niat untuk membunuh diri. Antara tanda-tanda yang boleh dilihat adalah seperti bercakap atau menulis mahu mencederakan atau membunuh diri, mencari jalan untuk membunuh diri dengan melihat akses kepada pil dan bahan bakar serta memberikan hadiah yang sangat disayangi kepada orang lain.\nUntuk mengatasi masalah ini, setiap individu yang mengalami gangguan psikologi perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu melalui dua fasa penyesuaian kendiri, iaitu penyesuaian kendiri dalaman dan luaran. Penyesuaian kendiri dalaman merujuk individu membuat penyesuaian pada dirinya untuk memenuhi kehendak dan perubahan luaran bagi mencapai kesejahteraan diri. Penyesuaian ini melibatkan komponen sikap yang meliputi elemen tingkah laku diri, kognitif dan emosi.\nKognitif yang positif diterangkan sebagai kemampuan minda untuk meletakkan persepsi dan pemikiran yang baik dan positif pada setiap dasar, perintah dan polisi yang ditetapkan, misalnya arahan pihak kerajaan berhubung wabak COVID-19 yang beraspirasikan kesejahteraan sejagat. Sekiranya minda seseorang itu subur dengan elemen positif terhadap norma baharu, maka individu itu dapat melihat dan menetapkan sesuatu matlamat dengan jelas. Hal ini seterusnya dapat membuatkan seseorang individu itu melalui penyesuaian kendiri dengan baik walau apa jua halangan yang\u00a0 mendatang. Sebagai contohnya, dengan memahami konsep perubahan sebagai lumrah kehidupan, perkara tersebut mampu menjadikan individu itu menerima perubahan dengan berlapang dada.\nSeterusnya, perihal penyesuaian diperlukan apabila individu berhadapan dengan peristiwa, impak atau perubahan yang besar dalam hidup seperti kehilangan dan kematian orang tersayang serta berhadapan penyakit kronik atau pandemik COVID-19. Penyesuaian boleh membawa kepada kesan buruk psikologi seperti tekanan, kebimbangan, murung, cemas, gagal mengawal kemarahan, kecelaruan minda dan masalah tingkah laku sekiranya tidak diurus dengan baik.\nPenyesuaian melalui kawalan tingkah laku diri dan emosi memainkan peranan penting dalam mengawal tindakan dan emosi menerusi strategi daya tindak yang betul selain menimbulkan rasa gembira dan tenang. Misalnya, apabila penjarakan fizikal dilaksanakan, individu masih boleh berinteraksi melalui media sosial dan amalan kerap mencuci tangan dilakukan apabila seseorang itu berurusan dengan pihak lain mampu mencipta persekitaran yang lebih selamat.\nPada waktu yang sama, orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat daripada sumber sahih seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara. Hal ini untuk mengelakkan penerimaan maklumat palsu yang berlegar di media sosial yang boleh menimbulkan kebimbangan yang serius.\nBagi mengekalkan kesejahteraan psikologi, penjagaan diri yang baik seperti menjaga makan, tidur secukupnya, melakukan senaman serta meneruskan rutin harian seperti biasa amatlah digalakkan. Sekiranya seseorang itu dalam tempoh kuarantin, sokongan emosi dan mental amatlah penting. Mereka boleh berinteraksi dengan keluarga dan rakan-rakan secara dalam talian. Mereka juga boleh meluahkan kebimbangan yang dirasai serta dapatkan kaunseling secara dalam talian jika perlu.\nIndividu yang mempunyai gangguan psikologi perlu diberikan perhatian kerana mereka lebih sensitif terhadap tekanan, terutamanya yang mempunyai penyakit seperti gangguan keresahan, kecelaruan obsesif kompulsif dan kemurungan. Individu yang mempunyai kebimbangan yang ketara juga disarankan untuk mengurangkan pendedahan terhadap media seperti televisyen dan surat khabar. Satu daripada cara termudah untuk bertenang adalah dengan mengamalkan teknik relaksasi melalui amalan senaman dengan nafas panjang, relaksasi otot dan meditasi. Selain itu, dengan melakukan ibadat juga dapat memberikan ketenangan jiwa dan tubuh badan.\nIndividu yang mempunyai gangguan psikologi disarankan dapatkan penilaian psikiatri sekiranya mengalami perasaan cemas, gemuruh serta sedih yang berpanjangan hingga menjejaskan fungsi harian. Kesihatan mental adalah sama penting dengan kesihatan fizikal dan pencegahan pada peringkat awal dapat membantu seseorang itu menjalani kehidupan dengan lebih baik." "Nanoteknologi Pemangkin Ekonomi dan Kualiti Hidup Keluarga Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cPelan Nano Negara merupakan dokumen sokongan utama bagi Dasar dan Strategi Nanoteknologi Negara (DSNN) 2021 \u2013 2030 yang telah dilancarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada bulan November 2021. DSNN 2021 \u2013 2030 mencerminkan komitmen MOSTI terhadap inisiatif baharu dalam memacu sains, teknologi dan inovasi serta memanfaatkan potensi nanoteknologi sebagai pemangkin ekonomi dan meningkatkan kualiti kehidupan seluruh Keluarga Malaysia,\u201d kata Menteri MOSTI, Yang Berhormat Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba dalam Majls Pelancaran Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara 2021 \u2013 2025 yang diadakan secara dalam talian hari ini.\nMenurut beliau, penyelidikan berkenaan dengan teknologi nano boleh disifatkan sebagai penemuan yang paling penting pada abad ini bagi menghasilkan pelbagai ilmu baharu. Nanoteknologi melibatkan kajian manipulasi dan kejuruteraan bahan pada skala nano dalam mana-mana dimensi. Baru-baru ini, Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Sains Negara.\nMOSTI sangat menghargai sokongan jitu daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri terhadap potensi industri nanoteknologi tempatan.\nTambah beliau lagi, dalam tempoh lima tahun ini, industri nanoteknologi dijangka akan memberikan sebanyak 33 391 peluang pekerjaan untuk pelbagai peringkat dan dijangka menyumbang sebanyak RM151.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).\nMengulas dengan lebih lanjut tentang hal ini, antara usaha NanoMalaysia Berhad dalam mempergiat industi nanoteknologi ialah mempergiat penawaran khidmat nasihat dan sokongan kepada para usahawan yang mengeluarkan produk berasaskan nanoteknologi agar dapat memudahkan urusan usahawan untuk mendapatkan pengesahan persijilan nano. Promosi dan hebahan juga akan dilaksanakan bagi menerangkan kelebihan dan manfaat pengesahan persijilan nano ini. Pengesahan ini akan meningkatkan tahap keyakinan pengguna terhadap suatu produk nano yang berada dalam pasaran di dalam atau di luar negara.\nBeliau juga mengumumkan bahawa MOSTI mengetengahkan tiga teras dalam Pelan Nano Negara bagi menyokong dan merancakkan industri nanoteknologi. Teras pertama ialah menyeragamkan pembangunan nanoteknologi Malaysia. Bagi memenuhi keperluan pasaran dalam lima tahun hingga 10 tahun akan datang, sebanyak empat sektor pelonjak yang terdiri daripada makanan dan pertanian, tenaga dan alam sekitar, peranti elektronik dan sistem serta kesejahteraan, perubatan dan penjagaan kesihatan.\nSelain itu, teras kedua dalam Pelan Nano Negara ialah meningkatkan teknologi dan produk disokong oleh program intervensi dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Pada tahun 2020, terdapat lebih 80 peratus industri nanoteknologi dipelopori oleh pihak PKS. Industri ini dijajarkan dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021 \u2013 2030 dan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 bagi meningkatkan KDNK sebanyak 50 peratus, meningkatkan nilai dagangan sebanyak 30 peratus dan mencipta kira-kira 80 peratus peluang pekerjaan baharu.\nSeterusnya, teras ketiga dalam Pelan Nano Negara ini ialah menjadikan Malaysia sebagai Hub Nanoteknologi Serantau. Berdasarkan data daripada Global Inc. pada tahun 2020, pasaran Asia Pasifik diunjurkan sebanyak USD$2.671 trilion pada tahun 2025. Teras ini memerlukan kerjasama daripada pelbagai agensi dan kementerian lain. Oleh yang demikian, MOSTI akan bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam usaha memasarkan produk nano dari Malaysia pada peringkat global.\n\u00a0Industri nanoteknologi perlu dijajarkan dengan dasar dan hala tuju negara seperti Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara, Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 dan MySTIE 1010." "Selamatkan Bumi dengan Diet Sihat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTahukah anda bahawa kesihatan manusia turut memberikan kesan kepada bumi? Seiring dengan tema Hari Kesihatan Sedunia pada tahun ini, iaitu \u201cPlanet Kita, Kesihatan Kita\u201d, orang ramai boleh membantu menjaga kesihatan bumi melalui penjagaan kesihatan diri sendiri. \u00a0Satu daripada cara yang boleh diamalkan adalah melalui makanan atau diet.\nKajian oleh Universiti of Leeds menyimpulkan bahawa diet sihat mempunyai pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang lebih rendah. Melalui analisis yang dilakukan terhadap lebih daripada 40 000 jenis makanan, kajian tersebut menunjukkan makanan yang tidak sihat mengakibatkan hampir satu per empat daripada pelepasan GHG yang berkaitan dengan diet, manakala satu per tiga daripada pelepasan berkaitan dengan diet itu diperoleh daripada barangan daging, minuman (15 peratus), tenusu (14 peratus), dan kek, biskut serta konfeksi (lapan peratus). Jelaslah bahawa makanan dan minuman yang diproses adalah dua kali ganda berbahaya dan boleh menyebabkan seseorang itu terdedah kepada pelbagai risiko penyakit serta membawa kepada pelepasan GHG.\nLaporan daripada Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim atau Intergovernmental Panel on Climate Change baru-baru ini menyatakan terdapat kesan pengeluaran makanan terhadap alam sekitar. Laporan tersebut juga menggariskan perubahan tingkah laku dan gaya hidup sebagai satu daripada cara untuk menjaga alam sekitar.\nSelain itu, Dr. S Anitha, Saintis Kanan Pemakanan di Institut Penyelidikan Tanaman Antarabangsa Tropika Separuh Gersang (ICRISAT) telah mengkaji faedah pemakanan sekoi. Beliau mendapati bahawa pengambilan makanan ini dapat memerangi kekurangan zat makanan. Sekoi dianggap sebagai tanaman pintar kerana kualiti pemakanannya yang tidak memerlukan banyak air untuk tumbuh. Sekoi juga tahan lasak dan tidak memerlukan banyak baja. Terdapat pelbagai jenis sekoi dan setiap satunya mengandungi peratusan nutrien dari segi jumlah kalsium, zat besi, beta-karotena, dan serat makanan yang berbeza-beza.\nSeterusnya, Pusat Kajian Sains, Teknologi dan Dasar, Bengaluru melaporkan bahawa penggunaan sekoi boleh menjimatkan sebanyak 50 juta tan pelepasan GHG dan sekitar 300 bilion meter padu air setiap tahun berbanding dengan penggunaan beras dan gandum.\nMenurut jurulatih nutrisi, Kripa Jalan, pemakanan lestari atau mampan memberikan impak yang lebih rendah kepada alam sekitar, melindungi biodiversiti, mengoptimumkan sumber, selamat, boleh diakses, dan yang lebih penting ialah mendapat nutrisi yang mencukupi dari segi kuantiti dan kualiti. Secara ringkasnya, cara pemakanan ini memenuhi keperluan masyarakat sambil melindungi dan memelihara alam sekitar.\nKaedah lain untuk memelihara alam sekitar adalah dengan mengutamakan tumbuh-tumbuhan dalam pemakanan. Pemakanan lestari atau mampan tidak bermakna seseorang itu menolak makanan berunsurkan daging sepenuhnya. Diet yang diamalkan haruslah mengandungi lebih banyak makanan yang berasaskan tumbuh-tumbuhan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.\nPengeluaran daging adalah penyumbang terbesar kepada pelepasan GHG dan beban alam sekitar. Hal ini disebabkan oleh aktiviti penternakan dan mengangkut ternakan juga memerlukan lebih banyak makanan, air, tanah, dan tenaga daripada tumbuh-tumbuhan. Satu daripada cara untuk mengurangkan kuantiti GHG adalah dengan mengurangkan mengambilan makanan yang berasaskan daging dan tenusu. Melalui tindakan tersebut, seseorang itu bukan sahaja dapat membantu planet menjadi tempat yang lebih baik, malah dapat memperbaiki kesihatan diri dengan diet yang lebih seimbang." "Pesakit Komorbiditi dan Warga Emas Diutamakan dalam Rawatan Paxlovid\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Penggunaan ubat antiviral Paxlovid merupakan satu lagi inisiatif kerajaan bagi melawan jangkitan COVID-19 dan keutamaan pemberian ubat ini diberikan kepada pesakit warga emas, pesakit dengan pelbagai komorbiditi serta masalah sistem imun.\nMenurut Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin, pesakit yang diberikan skor tiga dan ke atas juga akan diberikan keutamaan untuk menerima rawatan dengan menggunakan ubat antiviral. Selain golongan berisiko tinggi dan pesakit COVID-19 pada tahap dua dan tahap tiga, rawatan ini juga boleh diberikan kepada individu yang berumur 18 tahun ke atas, termasuklah kepada mereka yang tidak memerlukan terapi oksigen.\nUbat antiviral Paxlovid perlu dimulakan dalam tempoh lima hari bergejala bagi mencapai keberkesanan yang optimum dan pesakit juga perlu memastikan pengambilannya mengikut dos yang disarankan.\nTambah beliau, ubat itu hanya ditawarkan di fasiliti kesihatan kerajaan, iaitu di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) dan hospital kerajaan. Pesakit COVID-19 yang hadir ke CAC dan hospital kerajaan akan disaring dan dinilai oleh pegawai perubatan berdasarkan jumlah skor bagi kriteria yang telah ditetapkan sebelum dimulakan dengan rawatan ubat Paxlovid.\nRawatan COVID-19 melalui pemberian ubat Paxlovid pada peringkat awal penyakit dapat mencegah jangkitan tersebut daripada menjadi lebih mudarat. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa penggunaan ubat ini boleh mengurangkan hampir 90 peratus risiko kemasukan ke hospital atau kematian.\nBeliau juga berkata, penggunaan ubat ini bukan bertujuan untuk menggantikan vaksinasi COVID-19 serta pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam mengawal penularan jangkitan COVID-19. Hal ini dikatakan demikian kerana vaksinasi COVID-19 tetap kekal sebagai senjata terbaik bagi memerangi wabak ini.\nPihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah meluluskan pendaftaran secara bersyarat Paxlovid sebagai ubat antiviral bagi rawatan COVID-19 pada 3 Mac yang lalu. Ubat ini mengandungi dua bahan aktif, iaitu PF-07321332/Nirmatrelvir dan Ritonavir dalam dua tablet yang berbeza.\nMengulas lebih lanjut tentang hal ini, beliau menjelaskan penghantaran fasa pertama ubat ini pada 9 April 2022 yang lalu dapat menampung rawatan bagi 48 000 orang pesakit dan kini dalam proses agihan ke fasiliti kesihatan kerajaan.\nSetakat ini, penghantarannya telah dilakukan ke 14 buah hospital di setiap negeri, kecuali Sabah dan Sarawak yang dihantar ke stor logistik farmasi negeri masing-masing." "Kerjasama Maxis dan Hewlett Packard Enterprise Tawar Penyelesaian Digital MCE\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Syarikat telekomunikasi Maxis dengan kerjasama Hewlett Packard Enterprise (HPE) menjadi perintis dalam memperkenalkan sistem penyelesaian digital untuk perniagaan yang dikenali sebagai Multi-access Edge Computing (MEC).\nMEC ialah teknologi yang membolehkan masa tindak balas pengkomputeran sepantas satu digit milisaat dengan data yang diproses dan disimpan di pinggir rangkaian. Teknologi ini juga membolehkan sumber awan menjadi lebih dekat kepada pengguna akhir.\nMenurut Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Paul McManus, teknologi MEC akan memperkasakan semua pelanggan perusahaan mereka dengan teknologi generasi akan datang.\n\u201cPenggunaan kelebihan pengkomputeran rangkaian akan mengurangkan keperluan untuk memindahkan sejumlah besar data ke pusat data yang jauh. Maklumat yang diproses atau disimpan juga lebih dekat dengan sumber dan proses pemindahan data dilakukan melalui rangkaian capaian berkelajuan tinggi yang selamat dan boleh dipercayai seperti 4G, 5G dan Wi-Fi,\u201c katanya lagi.\nTambahnya, MEC amat menarik kepada perniagaan yang mengendalikan aplikasi kelebihan masa kritikal seperti analisis data, kecerdasan buatan, automasi dan pembelajaran mesin.\n\u00a0Melalui sistem MEC ini, kecekapan dan ketepatan dapat ditingkatkan dengan ketara dalam masa nyata, seterusnya meminimumkan kos ketersambungan dan penyimpanan data.\n\u201cPada masa ini, Maxis sedang membangunkan siri percubaan MEC yang memanfaatkan teknologi rangkaian boleh atur cara Maxis, awan (cloud), Internet Benda dan penyelesaian pintar,\u201d katanya lagi.\nSementara itu, Pengarah Urusan HPE Malaysia, Robert Lye memaklumkan bahawa HPE sangat teruja dengan kerjasama ini dan berharap sokongan yang diberikan ini akan mencetuskan penggunaan teknologi canggih yang lebih berinovatif di Malaysia.\n\u201cMEC ialah teknologi perkhidmatan perusahaan yang berbeza, bernilai tinggi dan kami mengharapkan lebih banyak perusahaan muncul untuk menerima kelebihan yang boleh ditawarkan oleh MEC,\u201d ujar beliau.\nMEC berpotensi untuk digunakan dalam kamera video keselamatan berdefinisi tinggi yang memerlukan analisis masa nyata, pengecaman muka dan objek serta realiti terimbuh dan realiti maya dengan video analitik." "Lalat BSF Bantu Lupus Sisa Buangan Secara Lestari\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTanah Merah \u2013 Projek Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man melalui Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) memperkenalkan lalat tentera hitam (BSF) atau nama saintifiknya, Hermetia illucens untuk membantu dalam menguruskan sisa secara lestari di Kelantan.\n\nMenurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Yang Berhormat Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, projek pengurusan sisa lestari ini menggunakan larva spesies BSF yang akan membantu melupuskan pelbagai jenis sisa buangan organik harian.\nProjek di bawah kelolaan Majlis Daerah Tanah Merah ini dijangka mampu mengurangkan lebih lima tan sampah di negeri ini. Secara tidak langsung, hal ini dapat meningkatkan jangka hayat tapak pelupusan sampah, memelihara sumber alam semulajadi dan mengurangkan pencemaran alam.\nMengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa projek ini bakal memberi manfaat kepada 27 000 penduduk bandar Tanah Merah. Di samping itu, anggaran potensi pengurangan karbon dioksida boleh mencecah hingga 1070 tan setahun yang bersamaan dengan nilai penyerapan karbon oleh 26 750 pokok teduhan yang telah matang.\n\u201cKementerian optimis dengan pelaksanaan konsep bandar rendah karbon yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi hijau domestik. Hal ini sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan serta mampu menarik minat pelaburan asing,\u201d ujarnya lagi.\nSementara itu, beliau menjelaskan GeRAK menerima peruntukan sebanyak RM35 juta menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi yang diluluskan kerajaan kepada seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Malaysia.\n\u201cSetakat ini, sebanyak 141 PBT telah memanfaatkan peruntukan ini untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bandar rendah karbon merangkumi elemen tenaga, air, sisa, mobiliti dan kehijauan di kawasan atau fasiliti awam. Di negeri Kelantan sendiri, peruntukan dengan nilai keseluruhannya berjumlah RM2.94 juta sudah diluluskan untuk kegunaan 12 PBT,\u201c tambahnya lagi.\nBeliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Majlis Pelancaran Projek Pengurusan Sisa Lestari BSF di Pasar Borong Tanah Merah, semalam.\nTurut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Yang Berhomat Tuan Haji Mohd Saripudin Tuan Ismail." "Peranan Ahli Fisioterapi Pencegahan Jatuh Warga Emas\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nApakah definisi jatuh? Kejatuhan ditakrifkan sebagai peristiwa yang akan mengakibatkan seseorang itu secara tidak sengaja tersandung di atas tanah atau\u00a0 permukaan dengan paras yang berbeza. Kejatuhan juga boleh dianggap sekiranya sebahagian daripada anggota badan seperti punggung atau lutut bersentuhan dengan tanah atau lantai. Keadaan jatuh ini merupakan suatu bentuk kemalangan dan perkara yang sering ditakuti oleh semua orang, terutamanya dalam kalangan warga emas.\nKini, penambahan bilangan warga emas di Malaysia kian bertambah. Statistik menunjukkan bahawa enam peratus (31 833 964 orang) daripada jumlah penduduk merupakan warga emas dan dijangkakan akan terus meningkat hingga 15 peratus menjelang tahun 2035. Fenomena ini amat membimbangkan kerana golongan warga emas merupakan kumpulan sasaran yang berisiko tinggi untuk jatuh.\nTerdapat kajian di Amerika Syarikat yang mendapati bahawa nisbah satu daripada tiga orang yang berumur 65 tahun dan ke atas mengalami insiden jatuh pada setiap tahun. Oleh itu, jatuh ini merupakan perkara atau elemen penting untuk dicegah dan perlu dikurangkan risikonya bagi membantu warga emas mencapai kualiti hidup yang lebih baik.\nTernyata, setiap warga emas yang jatuh pasti akan mengalami beberapa komplikasi yang teruk seperti tulang patah, kecederaan, perasaan untuk takut jatuh, dimasukkan ke hospital, dan boleh mengakibatkan berlakunya kematian. Antara anggota yang sering berlakunya kepatahan ialah tulang pinggul, tulang belakang, pelvis, dan tangan.\nSelain itu, terdapat juga kecederaan serius yang lain direkodkan bagi warga emas yang mengalami insiden jatuh ini seperti pendarahan atau kecederaan pada otak, yang memungkinkan mereka dimasukkan ke hospital dalam jangka masa yang lama. Perkara ini amat membimbangkan kerana boleh memberikan komplikasi yang lebih teruk dan berpanjangan seperti radang paru-paru, trombosis dan pulmonari embolisme yang boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat.\nFaktor risiko untuk jatuh dalam kalangan warga emas ini termasuklah peningkatan umur, penggunaan ubat-ubatan yang berlebihan, gangguan kognitif, dan defisit organ deria. Namun begitu, jika diteliti dengan lebih mendalam, terdapat beberapa faktor luaran, dalaman dan situasi yang boleh menyebabkan seseorang itu jatuh dan kebanyakannya boleh dicegah.\nFaktor dalaman merujuk perubahan fizikal dan mental yang biasanya berkaitan dengan penuaan (tetapi tidak dikaitkan dengan penyakit) yang dapat mengurangkan kekuatan dan kefungsian anggota badan.\u00a0 Sebagai contohnya, penglihatan kabur, kekurangan persepsi kedalaman, kemerosotan periferal dan vestibular, kurang rangsangan deria sentuhan dan getaran, kurang daya keseimbangan badan, mobiliti pergerakan yang lemah, otot kaki lemah, penyakit akut dan kronik yang menjejaskan fungsi deria, neurologi, kognitif, dan otot, kecacatan kognitif serta polifarmasi (penggunaan empat atau lebih jenis ubat preskripsi). Akibatnya, pesakit warga emas akan menjadi lebih mudah terjatuh apabila mereka berhadapan dengan sebarang cabaran atau halangan ketika bergerak.\nSementara itu, faktor luaran seperti pencahayaan yang kurang baik, tangga yang tidak selamat dan permukaan lantai yang tidak teratur atau licin serta penggunaan alat bantuan berjalan yang tidak sesuai menjadi penyumbang kepada faktor insiden jatuh ini. Keadaan ini sangat berisiko kepada warga emas dan kebanyakannya faktor ini boleh diubah suai.\nAhli fisioterapi boleh memainkan peranan penting dalam pencegahan jatuh dalam kalangan warga emas. Peranan utama ahli fisioterapi, termasuklah memberikan pendedahan risiko dan kesan insiden jatuh, mengajar dan membantu warga emas ini cara untuk bangun dari lantai dengan selamat dan memastikan kekuatan anggota badan warga emas yang jatuh berada dalam keadaan yang optimum.\nSeterusnya, aktiviti senaman yang berstruktur dan berdisiplin dapat membantu mencegah risiko jatuh dalam kalangan warga emas. Senaman berstruktur berkonsepkan santai dengan pelbagai elemen sangat sesuai untuk mencegah insiden jatuh. Berikut merupakan beberapa aktiviti senaman asas dan berstruktur yang sering dipreskripsikan oleh ahli fisioterapi:\nBil.\nAktiviti\n1.\n\u00b7 Boleh dilakukan dalam keadaan duduk atau berdiri.\n\u00b7 Regangan tangan boleh dilakukan dengan tangan menyentuh belakang badan dan ditolak dengan menggunakan tangan sebelah lagi.\n\u00b7 Regangan paha perlu dibuat dalam keadaan kaki lurus dan tangan perlu mencuba untuk menyentuh ibu jari kaki.\n\u00b7 Senaman regangan perlu bertahan selama 15 saat dan diulang sebanyak tiga kali hingga lima kali.\n2.\n\u00b7 Di atas tanah rata atau beberapa permukaan yang lebih mencabar (tidak sekata atau lembut).\n\u00b7 Dilakukan pada satu kaki atau dua kaki atau dalam kedudukan separuh melutut (ada kerusi untuk keselamatan atau berteman).\n\u00b7 Dengan mata terbuka atau tertutup.\n\u00b7 Setiap aktiviti boleh dilakukan dalam seminit atau dua minit.\n3.\n\u00b7 Boleh menggunakan beban atau anggota badan sendiri atau theraband ketika bersenam.\n\u00b7 Senaman kekuatan tangan boleh dilakukan dengan mengangkat beban ke atas dan menghala ke siling serta membengkokkan siku.\n\u00b7 Senaman anggota bawah boleh dilakukan dalam keadaan duduk dengan menggunakan theraband dan mengikatnya pada pergelangan kaki serta meluruskan lutut ke hadapan.\n\u00b7 Senaman \u201cduduk-bangun-duduk\u201d juga boleh dilakukan bagi meningkatkan kekuatan anggota bawah.\n\u00b7 Berjengket dengan teman atau menggunakan kerusi untuk meningkatkan kekuatan di otot betis.\n\u00b7 Senaman kekuatan boleh dilakukan sebanyak 30 ulangan.\n4.\nAerobik (kecergasan paru-paru).\nSenaman di atas\u00a0 boleh dilakukan selama 30 minit untuk lima hari setiap minggu atau dilakukan selama 50 minit untuk tiga hari setiap minggu dengan intensiti sederhana rendah.\nSebagai kesimpulannya, insiden jatuh boleh menjadi perkara yang membimbangkan dan boleh mengakibatkan kecederaan. Insiden jatuh juga menyebabkan keyakinan seseorang itu untuk bergerak akan berubah serta goyah. Dengan melakukan senaman berkonsepkan pelbagai komponen atau mempunyai asas kekuatan dan keseimbangan selama tiga kali atau lima kali dalam seminggu, keseimbangan dan mobiliti seseorang itu dapat ditingkatkan dan mobiliti dan seterusnya mencegah insiden jatuh dalam kalangan warga emas." "Isu Privasi dan Keselamatan Data Pengguna dalam Teknologi Metaverse\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKonsep metaverse menjadi perhatian umum apabila syarikat Facebook membuat penjenamaan semula kepada nama Meta Platforms. Penjenamaan semula ini dilakukan kerana perubahan fokus dan strategi oleh syarikat Meta dan Mark Zuckerberg untuk beralih daripada perkhidmatan media sosial dua dimensi berbentuk laman sesawang kepada perkhidmatan yang berteraskan konsep metaverse. Langkah ini mudah mendapat perhatian kerana Meta merupakan pengendali kepada aplikasi media sosial yang digunakan oleh banyak pengguna di serata dunia, iaitu Facebook dan WhatsApp.\nWalau bagaimanapun, Meta bukanlah satu-satunya syarikat yang berminat dengan metaverse. Platform yang menggunakan teknologi dan konsep metaverse seperti Decentraland telah wujud dan menawarkan hartanah maya yang boleh dibeli dengan menggunakan token blok rantai Ethereum, manakala laman sesawang The Sandbox pula menawarkan perkhidmatan permainan dalam talian berasaskan metaverse.\nMetaverse turut diimplimentasi dalam aplikasi dalam talian lain seperti Second Life, Fortnite dan Roblox. Laporan daripada laman sesawang Forbes pada 21 Januari 2022 menyatakan bahawa syarikat gergasi teknologi seperti Google, Microsoft, Apple, dan Meta sedang berlumba-lumba bagi menghasilkan set kepala terbaik untuk pengguna menikmati persekitaran metaverse. Selain itu, laman sesawang Forbes turut tidak ketinggalan menyiarkan pelbagai laporan bersiri dan liputan khas berkaitan dengan metaverse.\nApakah sebenarnya metaverse? Dari segi istilah, metaverse ialah hasil gabungan morfem meta yang bermaksud pascarealiti dan verse daripada singkatan universe atau alam. Dari segi sejarahnya pula, istilah metaverse muncul pertama kali dalam novel fiksyen sains nukilan Neal Stephenson yang berjudul Snow Crash terbitan pada tahun 1992. Pada masa ini, konsep metaverse ditakrifkan sebagai jaringan persekitaran maya tiga dimensi yang membolehkan manusia terlibat dalam interaksi sosial dan berinteraksi dengan persekitaran maya.\nSecara umumnya, interaksi ini perlu menggunakan teknologi dan peranti canggih antara muka manusia-komputer, termasuklah kaca mata, gogel, sarung tangan, set kepala, sut badan, dan sebagainya yang membolehkan pengguna memberikan arahan dan merasai pengalaman dalam metaverse seperti berada dalam dunia sebenar.\nMetaverse menggabungkan realiti maya (VR) dengan realiti terimbuh (AR), yakni pengguna bersosial dengan menggunakan avatar (wakil maya) dalam jaringan dunia maya dan berinteraksi dengan objek digital. Disebabkan oleh metaverse menggabungkan VR dan AR, maka pengalaman pengguna turut berupaya merentas persekitaran maya dan alam realiti. Gelombang teknologi ini dikatakan bakal mengubah cara pendidikan, perniagaan, pekerjaan jarak jauh, dan hiburan.\nSelain itu, metaverse juga dikaji dan diteroka dalam kalangan penyelidik hingga menerbitkan konsep berkaitan dengan metamasyarakat, metaekonomi, metaperusahaan, metabandar, dan metapendidikan yang diolah berdasarkan masalah dalam alam realiti. Namun begitu, fokus penyelesaian lebih kepada menyelesaikan masalah dalam metaverse. Metaverse dianggap sebagai suatu alam yang selari dengan alam realiti. Oleh itu, metaverse turut bakal menghadapi masalah sepertimana yang berlaku dalam alam realiti.\nDunia maya tanpa sempadan seperti metaverse menimbulkan konflik antara keterbukaan dan privasi. Hal ini kerana matlamatnya adalah sebagai platform awam yang membolehkan pengguna bersosial dan merentas pelbagai persekitaran yang berbeza secara maya. Sepertimana jaringan laman sesawang yang membenarkan pengguna melayari mana-mana laman sesawang awam yang dibekalkan melalui perkhidmatan pelayan laman sesawang, metaverse juga membenarkan penggunanya merentasi persekitaran peribadi masing-masing ke dalam persekitaran pengguna lain sebagai satu daripada aktiviti sosial.\nNamun begitu, keterbukaan ini menimbulkan persoalan seperti adakah metaverse membenarkan pengguna merentas hak peribadi orang lain secara bebas hingga tiada lagi privasi? Persekitaran tertutup bertentangan dengan matlamat umum metaverse yang memerlukan ruang untuk pengguna bersosial dengan bebas. Hal ini kerana pada dasarnya jaringan persekitaran maya ini perlu mengutamakan keterbukaan bagi membentuk ruang dan pelbagai persekitaran kepada penggunanya. Maka, sekiranya privasi pengguna dan data sensitif perlu dilindungi, pendekatan baharu perlu dibentuk bagi memastikan wujudnya batasan untuk membolehkan pengguna menjaga hak privasinya.\nDi samping itu, aktiviti bersosial dalam metaverse juga perlu melibatkan kepercayaan sesama pengguna. Pengguna tidak dapat melihat individu sebenar, iaitu dengan siapa mereka berinteraksi kerana interaksinya diwakili oleh avatar. Sedangkan pada masa yang sama, tahap kebolehpercayaan pengguna yang menampilkan dirinya melalui avatar masih boleh dipersoalkan. Hal ini disebabkan oleh penampilan digital dalam alam maya belum tentu menampilkan identiti sebenar pemiliknya.\nIsu penggodaman dan pencurian identiti yang berlaku pada teknologi sedia ada tentunya boleh berlaku dalam metaverse. Kaedah pengesahan identiti dengan menggunakan nama pengguna dan kata laluan jelas tidak memadai untuk menghalang pencurian identiti kerana selain penggodaman dan intipan, sebahagiannya turut berlaku disebabkan oleh kecuaian daripada pihak pengguna.\nSementara itu, perlindungan yang wujud melalui penggunaan kata laluan akan lenyap sekiranya pengguna itu sendiri menyerahkan kata laluan atau lalai menjaganya hingga berjaya diintip oleh penggodam. Aktiviti kejuruteraan sosial untuk mendapatkan data pengguna juga sukar dikawal kerana sebahagiannya melibatkan sistem yang pelbagai dan di luar kawalan, misalnya komunikasi peribadi melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau media sosial seperti WhatsApp digunakan untuk mendapatkan maklumat dan memperdayakan pengguna.\nHal ini membawa kepada aktiviti memalsukan identiti sekali gus menimbulkan isu kebolehpercayaan sesama pengguna. Oleh itu, isu kepercayaan perlu ditangani dengan meningkatkan perlindungan terhadap identiti pengguna, mendidik pengguna supaya sentiasa menjaga maklumat dan data peribadi dengan cermat, berwaspada dengan helah dan perangkap penipu, selain pengendali aplikasi membangunkan ciri keselamatan seperti pembinaan reputasi yang dapat memastikan seseorang pengguna boleh dipercayai oleh pengguna lain.\nDisebabkan oleh metaverse menggabungkan alam maya dan alam realiti, gabungan data dan maklumat tentunya akan menghasilkan sejumlah data dan maklumat yang banyak daripada alam maya dan alam fizikal. Keperluan kepada kaedah pengurusan, penyimpanan dan pemprosesan pasti turut berubah kerana bentuk data baharu mungkin tidak sama dengan bentuk data sedia ada.\nKewujudan data dan maklumat yang lebih banyak tentunya meningkatkan risiko kecurian dan peluang kepada penjenayah untuk mencuri dan menyalahgunakan data serta maklumat yang tersimpan. Ditambah pula dengan kaedah dan teknologi pengurusan dan pemprosesan data yang baharu serta pelbagai akan meningkatkan kompleksiti dalam melindungi data dan maklumat tersebut.\nSelanjutnya, penggunaan metaverse melibatkan teknologi VR dan AR. Hal ini mewujudkan penggunaan pelbagai bentuk data dan peranti berbeza berbanding dengan media sosial sedia ada. Kebanyakan data yang dikutip daripada pengguna metaverse lebih bersifat peribadi, termasuklah mimik dan ekspresi wajah, gambar dan kedudukan retina serta pergerakan anggota badan.\nData ini dikutip untuk membolehkan pengguna berinteraksi dengan persekitaran maya dan objek digital dengan efektif. Sekiranya data tidak dilindungi, semua data ini boleh menjurus kepada kegiatan pemalsuan identiti atau aktiviti memprofil pengguna bagi tujuan pengiklanan, intipan, fitnah, dan sebagainya tanpa pengetahuan pengguna. Apatah lagi sekiranya data tersebut melibatkan hal yang sensitif seperti kesihatan dan perubatan.\nSelain melindungi data semasa penghantaran dan komunikasi melalui rangkaian dan sambungan, peranti dan perkakasan yang digunakan juga perlu dilindungi supaya tidak menjadi sasaran perisian hasad dan perisian pengintip. Ketika ini, sudah wujud pelbagai perisian botnet, termasuklah Mirai Botnet dan BotenaGo yang menyasarkan peranti dalam rangkaian Internet Benda (IoT) dan semestinya peranti bagi metaverse tidak akan terlepas daripada menjadi sasaran. Dengan menggunakan botnet tersebut, penggodam boleh mencapai dan mengawal peranti itu dari jauh sepertimana kes yang pernah berlaku sebelum ini, iaitu penggodam berjaya mengawal kamera litar tertutup atau lengan robot industri secara jarak jauh.\nDalam penggunaan media sosial sedia ada, peraturan dan undang-undang berkaitan dengan privasi data masih lagi menjadi pertikaian. Negara yang berbeza juga mengamalkan polisi dan undang-undang yang berbeza berkaitan dengan hak pengguna terhadap data mereka. Sebagai contohnya, isu Kesatuan Eropah (EU) yang menggubal undang-undang menghalang pemindahan dan penyimpanan data Facebook oleh Meta Platforms ke dalam pelayan di Amerika Syarikat. Disebabkan oleh halangan tersebut, Meta mengancam untuk menutup perkhidmatan Facebook dan Instagram di Eropah.\nMetaverse memerlukan undang-undang yang berbeza. Menurut laporan daripada laman sesawang Euronews, negara EU lebih mengambil pendekatan cuba untuk memahami metaverse terlebih dahulu sebelum dapat membuat keputusan tentang cara untuk menggubal undang-undang berkaitan dengan teknologi tersebut.\nSebagai kesimpulannya, metaverse merupakan teknologi terkini yang berpotensi menimbulkan isu baharu berkaitan dengan privasi dan keselamatan data pengguna. Isu tersebut meliputi cara untuk melindungi privasi, pengurusan data, langkah melindungi keselamatan data dan peranti, mengawal kebolehpercayaan terhadap identiti pengguna serta cara menggubal undang-undang dan akta berkaitan dengan penggunaan metaverse. Walaupun teknologi ini dikatakan baru sahaja melalui fasa atau gelombang kedua, ternyata telah menarik minat pelbagai syarikat gergasi aplikasi dalam talian sekali gus membolehkannya berpotensi untuk berkembang dengan maju.\n\u00a0\nPenulis merupakan pensyarah dan penyelidik dalam Kumpulan Penyelidikan Keselamatan Maklumat di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia, Serdang.\u00c2" "Pulihkan Jati Diri Masyarakat untuk Menawan ASEAN\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur\u00a0\u2013 Usaha memperkukuh status bahasa Melayu di persada antarabangsa yang diterajui YAB Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob semasa lawatan ke beberapa negara di rantau ASEAN telah memberikan nafas baharu kepada bahasa ibunda kita. Walau bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim dalam kenyataannya pula menolak cadangan Malaysia untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua blok ASEAN.\nSehubungan dengan itu, sebagai rakyat Malaysia, perlu ada agenda untuk memartabatkan bahasa Melayu agar tercapai hasrat untuk menawan ASEAN. Sebagai bahasa perantaraan, konsep bahasa serantau perlu difahami dari perspektif ilmiah ataupun politik. Bahasa Melayu yang bervariasi bergantung kepada masyarakat yang menuturnya. Oleh itu, masyarakat\u00a0perlu memperkasakan dan memantapkan bahasa Melayu\u00a0di negara\u00a0sendiri terlebih dahulu sebelum meluaskannya ke peringkat yang lebih jauh.\nMenurut Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, mantan Profesor Pengajian Melayu, Universiti Malaya, apabila negara merdeka, bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa orang Melayu tetapi bahasa untuk rakyat Malaysia tidak mengira kaum. Banyak juga orang Melayu yang tidak berasa bangga dengan bahasa ibunda mereka dan lebih bermegah dengan bahasa asing. Sekiranya tiada rasa bangga terhadap bahasa ibunda sendiri, maka akan hilanglah konsep jati diri. Yang paling penting ialah sikap. Gerakan untuk menyedarkan orang Melayu ini perlu diadakan bagi memulihkan kembali jati diri masyarakat agar mencintai bahasa Melayu sebagai asas pembinaan negara Malaysia.\nSebelum kita hendak menjual bahasa sendiri ke negara luar, kita perlu ada usaha untuk mencintai bahasa kita agar bahasa kita dihormati.\nTambah Yang Berhormat Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Timbalan Menteri Perpaduan Negara Malaysia pula, persoalan bahasa masih belum selesai dalam negara ini. Ahli politik muda banyak yang memperkecilkan usaha murni kerajaan untuk mengangkat bahasa Melayu ke pentas antarabangsa. Sikap ini perlu diubah kerana kita sepatutnya bangga akan identiti kita termasuklah dalam isu dasar budaya kebangsaan. Masyarakat perlu mempunyai satu identiti yang teguh untuk dijadikan benteng bagi berdepan dengan arus globalisasi.\nTidak salah jika kita bertutur dalam bahasa Melayu di peringkat antarabangsa walaupun kita fasih bertutur dalam bahasa Inggeris. Kita boleh menjadikan bahasa Melayu sebagai satu strategi pemasaran yang baik kerana bahasa ibunda boleh menjadi sumber ekonomi yang dapat memajukan negara.\nHal ini turut dipersetujui oleh\u00a0Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, iaitu Felo Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia yang menyatakan bahawa banyak ahli masyarakat yang tiada jati diri yang menyebabkan punca kegagalan dalam beberapa aspek pembentukan negara bangsa. Seharusnya sebagai rakyat Malaysia, kita harus berjiwa besar dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan. Sudah terbukti bahawa bahasa ialah alat untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum.\nApabila kita merdeka, bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa orang Melayu. Jika orang Melayu tidak berbangga dengan jati dirinya, maka mudah untuk mereka menerima unsur dari luar. Oleh itu, jati diri masyarakat perlu dipulihkan kembali dengan mencintai bahasa Melayu sebagai asas pembinaan negara Malaysia.\nTambah Zack Kirana, iaitu Tutor Bahasa Melayu, dari MC Plus, orang Malaysia mempunyai dasar keterbukaan yang terlalu meluas terhadap bahasa asing. Istilah luar mudah mempengaruhi masyarakat kerana pengaruh dasar keterbukaan kita untuk menerima budaya dan bahasa asing yang begitu besar dalam masyarakat.\nKita perlu lantang dalam menegakkan kebenaran bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa yang wajib diaplikasikan.\nBerdasarkan pengalamannya sebagai guru, banyak kosa kata dan peribahasa Melayu yang masih tidak diketahui oleh masyarakat. Oleh itu, kita perlu memulihkan bahasa sendiri yang tenat ini dalam kalangan masyarakat kita terlebih dahulu dalam usaha untuk memartabatkan dan mengangkat bahasa Melayu ke peringkat ASEAN.\nDemikianlah antara penerangan menarik daripada para panel undangan dalam Program Wacana Siri 336, terbitan Sinar Harian yang disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial Sinar Harian termasuk di FB Sinar Harian dengan judul \u201cMampukah Bahasa Melayu Tawan ASEAN\u201d pada pukul 3.00 petang tadi. Moderator program pula ialah Ismail Adnan." "Penjaga dan Pelawat Dibenarkan untuk Menemani Pesakit \u2013 KKM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam membenarkan pesakit yang dirawat di wad untuk ditemani oleh penjaga dan menerima pelawat mulai 23 April 2022.\nMenurut Ketua Pengarah KKM, Yang Berbahagia Tan Sri Dato\u2019 Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, polisi dan garis panduan yang diguna pakai dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan di fasiliti kementeriannya sentiasa disemak dan dikemas kini berdasarkan perkembangan terkini jangkitan COVID-19 di dalam dan di luar negara.\nTambah beliau, langkah ini diambil setelah mengambil kira kepentingan sokongan psikososial, terutamanya daripada ahli keluarga pesakit dalam membantu proses penyembuhan seseorang pesakit.\nBeliau berkata secara umumnya, pelawat dan penjaga yang dibenarkan mestilah berumur 12 tahun ke atas, telah lengkap vaksinasi COVID-19 dan tidak tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan COVID-19.\nBagi penjaga kategori pesakit tertentu yang perlu menjalani ujian RTK-Ag kendiri, ujian perlu dilakukan dalam tempoh 24 jam sebelum ketibaan di hospital dan tarikh serta masa ujian dijalankan perlu dinyatakan berserta gambar sebagai bukti.\nKriteria lain juga ialah penjaga atau pelawat tidak disyaki menghidap COVID-19 atau individu dalam pemantauan (PUS) dan tidak mempunyai gejala COVID-19. Mereka juga perlu mengisi borang deklarasi COVID-19 serta mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) dan memakai alat pelindung diri (PPE) seperti yang telah ditetapkan.\nBeliau juga menjelaskan bagi penjaga pesakit bukan COVID-19 yang berada di wad serta individu yang ingin menemani ibu mengandung semasa proses bersalin, mereka perlu menjalani ujian saringan COVID-19, iaitu RTK-Ag kendiri dan disahkan negatif.\nLawatan dalam kalangan ahli keluarga kepada pesakit bukan COVID-19 yang berada sama ada di wad, Unit Rawatan Rapi atau sedang tenat adalah dibenarkan, namun begitu hanya terhad kepada dua orang pelawat pada satu-satu masa.\nTambah beliau lagi, hanya seorang penjaga dibenarkan bagi pesakit bukan COVID-19 yang menerima rawatan sebagai pesakit luar atau jabatan kecemasan dan mereka juga digalakkan untuk menjalani ujian COVID-19 dengan menggunakan RTK-Ag kendiri sebelum hadir ke fasiliti kesihatan.\nBagi pesakit COVID-19, kehadiran penjaga hanya dibenarkan bagi pesakit yang memerlukan penjagaan khusus dan pesakit kanak-kanak dan bagi tujuan tersebut, penjaga perlu menjalani ujian RTK-Ag kendiri dan disahkan negatif serta perlu diulang sekiranya penjaga tersebut bergejala dan sebelum pulang ke rumah.\nJelas beliau lagi, tiada pelawat dibenarkan bagi pesakit COVID-19 kecuali bagi pesakit yang sedang tenat, sama ada di wad atau Unit Rawatan Rapi dan hanya dua orang pelawat dibenarkan pada satu-satu masa. Mereka juga digalakkan untuk melakukan ujian COVID-19 dengan menggunakan RTK-Ag kendiri sebelum lawatan tersebut.\nKKM dalam kenyataan itu juga menekankan bahawa dalam keadaan tertentu apabila risiko penularan COVID-19 adalah tinggi seperti berlakunya wabak COVID-19 di hospital, pihak hospital boleh melakukan beberapa pengubahsuaian kepada polisi sedia ada bagi memastikan kesihatan dan keselamatan semua pihak." "Lalat Askar Hitam dalam Pengurusan Sisa Makanan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBerdasarkan kajian yang dijalankan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, penyumbang utama kepada komposisi sisa pepejal ialah sisa makanan, iaitu sebanyak 44.5 peratus daripada jumlah keseluruhan sisa yang dijana setiap hari. Daripada jumlah ini, sektor perindustrian, komersial dan keinstitusian yang merangkumi pasar borong, pasar basah serta pasar tani sahaja menghasilkan sebanyak 31.4 peratus atau lebih kurang 440 kilogram sisa makanan setiap hari. Selebihnya, sisa makanan disumbang oleh kediaman rumah rakyat Malaysia yang mencakupi sekurang-kurangnya sebanyak 1.17 kilogram sisa makanan setiap hari bagi setiap individu. Jumlah keseluruhan sisa ini dianggarkan akan terus meningkat dan lebih membimbangkan, hal ini akan menyumbang kepada ketepuan tapak pelupusan sampah di seluruh negara.\nUsaha Kementerian Alam Sekitar dan Air menerusi Projek Pengurusan Sisa Lestari Lalat Askar Hitam dilihat mampu memantapkan pengurusan sisa makanan harian\u00c2\u00a0secara lestari termasuklah di tempat pelupusan sampah. Lalat askar hitam atau nama saintifiknya Hermetia illucens ialah spesies lalat yang boleh dijumpai di negara beriklim tropika yang digunakan bagi memproses pelbagai jenis bahan buangan organik harian atau sisa makanan. Lalat askar hitam dikatakan dapat membantu mengurangkan sisa sampah makanan di tapak pelupusan, selain dapat memelihara sumber alam semula jadi dan mengurangkan pencemaran alam.\nLalat askar hitam ialah sejenis lalat yang tidak dikategorikan sebagai haiwan pembawa penyakit. Lalat dewasa ini berukuran antara tujuh milimeter hingga 10 milimeter dan menyerupai penyengat kecil, tetapi tidak mempunyai mulut. Lalat ini berwarna hitam dan keperang-perangan. Tempoh hidup seekor lalat askar hitam dewasa adalah sekitar lima hari hingga tujuh hari sahaja. Oleh sebab serangga dewasa ini tidak mempunyai mulut, lalat ini tidak boleh dijadikan penyebab pembawa penyakit, kecuali apabila hinggap di makanan manusia yang sememangnya sudah busuk.\nSeekor lalat askar hitam boleh bertelur antara 500 biji hingga 900 biji telur selama hayatnya. Selepas telur menetas, larva akan merangkak ke tempat gelap dan busuk untuk mencari makanan. Sekiranya cuaca membenarkan dan makanan cukup, larva boleh matang dalam tempoh 20 hari. Selepas itu, larva ini akan masuk ke dalam tanah dan berubah menjadi pupa selepas beberapa hari. Larva boleh hidup sehingga tempoh enam bulan sekiranya makanan masih mencukupi. Anggaran tempoh hayat seekor lalat askar hitam yang terpanjang semasa di peringkat larva bergantung kepada ketersediaan makanan. Larva inilah yang digunakan untuk melupuskan sisa makanan secara lestari.\nFungsi fasiliti lalat askar hitam adalah untuk memproses hasil pungutan sisa dari pasar borong, pasar basah atau pasar tani yang mengambil masa selama 14 hari hingga 21 hari. Proses ini juga dijangka dapat mengurangkan penjanaan sebanyak lima tan sehari sampah yang dibuang ke tapak pelupusan sisa dengan potensi pengurangan pembebasan sebanyak tiga tan karbon dioksida setara dalam sehari di samping menjimatkan kos pengurusan serta mengurangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan sampah yang kini mengalami isu kekurangan tapak pelupusan.\nJangka hayat sesebuah tapak pelupusan adalah di antara 20 tahun hingga 25 tahun bergantung pada keluasannya. Tanah yang dijadikan tapak pelupusan sampah pula tidak boleh digunakan untuk sebarang pembangunan atau projek kerana perlu dirawat sekurang-kurangnya selama 20 tahun berikutan terdapatnya air larutan serapan dan gas berbahaya dengan kadar pencemaran sangat tinggi. Selain itu, aktiviti pembangunan terutamanya di kawasan bandar yang semakin pesat menyukarkan proses mendapatkan tanah yang sesuai untuk dijadikan kawasan pelupusan sampah.\nSelain itu, lalat askar hitam juga boleh menjadi sumber alternatif makanan untuk haiwan ternakan seperti ayam. Secara umumnya, lalat askar hitam senang membiak, bukan bawaan vektor penyakit dan tidak berbahaya kepada manusia. Kitar hidup larva lalat askar hitam adalah dalam lingkungan 45 hari. Hal ini bermakna apabila larva tersebut dibela dalam tempoh 15 hingga 18 hari, hasilnya sudah boleh tersedia. Proses penternakan lalat ini tidak memerlukan kawasan yang besar. Sebagai contohnya, larva lalat ini boleh diletakkan dalam sebuah besen bersama-sama dengan sisa makanan dan dibiarkan membesar hingga saiznya hampir satu inci. Pada ketika ini, larva yang padat dengan sumber protein ini sudah boleh diproses untuk menjadi makanan ikan atau ternakan lain.\nManfaat lalat askar hitam dalam menghasilkan makanan ternakan secara komersil sebenarnya bukanlah perkara baharu dan kaedah ini sudah digunakan secara meluas di luar negara. Spesies lalat ini dipilih secara khusus kerana selera makannya yang luar biasa. Seekor larva lalat askar hitam mampu memproses sebanyak setengah gram bahan organik setiap hari. Larva lalat ini dilaporkan memang boleh memakan pelbagai jenis sisa makanan, termasuklah buah yang busuk, sayuran yang reput, daging, sampah organik dan pelbagai lagi sisa makanan dan buangan.\nSementara itu, residu yang dihasilkan oleh larva lalat ini boleh dijadikan sebagai baja organik atau baja kompos bagi menggantikan baja kimia untuk kegunaan di sektor pertanian. Pada awal tahun ini, Swidweb Solutions, syarikat terbitan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dengan kerjasama SWM Environment Sdn. Bhd. Johor telah mengumpulkan sisa makanan daripada komuniti setempat dan juga restoran berhampiran dan mengitar semula sisa makanan tersebut menggunakan teknik fasiliti larva lalat askar hitam untuk menghasilkan baja organik yang lebih mesra alam. Terdahulu, pada tahun 2021, sebanyak 100 peserta telah menyertai program pengumpulan sisa ini dan berjaya mengumpulkan kira-kira 15 000 kilogram sisa makanan untuk dikompos lalu dijadikan baja organik. Kajian menunjukkan teknik ini dapat membantu dalam proses penguraian sisa makanan dengan selamat dan mesra alam untuk menghasilkan baja organik berkualiti bagi kegunaan bercucuk tanam dan komersial." "Persekitaran Kondusif, Kesihatan Terjamin \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 \u201cRakyat khususnya di Perlis seharusnya sentiasa bersyukur kerana masih dapat hidup dalam persekitaran yang baik dan terkawal. Udara dan sumber air di Perlis juga kurang tercemar. Negeri Perlis juga jarang-jarang mengalami cuaca yang ekstrim sehingga mengakibatkan banjir besar, tanah runtuh dan sebagainya. Selain itu, bekalan air bersih juga bukan isu di negeri ini. Oleh itu, masyarakat diseru untuk bersama-sama melipatgandakan usaha untuk terus menjaga alam sekitar,\u201d titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.\nApabila persekitaran kondusif, maka kesihatan juga akan terjamin. Demikian titah DYTM Raja Muda Perlis selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21 000 kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al Istiqamah, Telok Jambu, Kangar baru-baru ini. Masing-masing menerima RM700 setiap seorang yang diagihkan melalui amilnya, Yunus Kasa.\n\nBersempena dengan Hari Bumi yang diperingati pada 22 April setiap tahun dengan tema \u201cInvest in Our Planet\u201d pada kali ini bagi menunjukkan sokongan terhadap perlindungan alam sekitar. Peningkatan kes penyakit bawaan vektor seperti denggi dan malaria, bekalan makanan dan air minuman yang tidak selamat serta kejadian yang berlaku ekoran cuaca ekstrim seperti banjir besar di sesetengah tempat lain telah memberikan pengajaran kepada masyarakat bahawa hal ini boleh memberikan tekanan kepada ketidakseimbangan dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan. Perkara ini juga akan memberikan impak yang sangat tinggi, terutamanya kepada golongan yang lemah dan rentan.\nSementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Sirajuddin Hashim turut menyatakan bahawa pencemaran terhadap persekitaran juga boleh menyebabkan rantaian makanan tercemar. Selain itu, peningkatan penghasilan makanan dan minuman berproses yang tidak sihat juga mampu menyebabkan peningkatan masalah obesiti, penyakit kanser dan jantung serta penyakit tidak berjangkit lain." "Bagang Penangkapan Bilis Terapung Biokomposit Bakal Dilancar Mei\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBandar Tenggara \u2013 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) akan melancarkan bagang penangkapan bilis terapung biokomposit pada bulan Mei ini di Kota Belud, Sabah. Projek yang bakal memberikan peluang pendapatan baharu kepada lebih 100 orang Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sabah\u00a0 ini merupakan hasil daripada projek Malaysia Social Innovation yang dilaksanakan oleh Nuklear Malaysia dan Yayasan Inovasi Malaysia.\nMenurut Menteri MOSTI, Yang Berhormat Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba, projek ini merupakan pemula terhadap pembangunan struktur terapung lestari di kawasan tersebut untuk dimajukan kepada penternakan akuakultur marin dan sektor pelancongan akua.\nLimpahan daripada pembangunan ini akan memberikan manfaat kepada kebanyakan rakyat di Sabah dan model pembangunan ekonomi yang sama boleh dibuat di Semenanjung Malaysia, terutamanya di Johor.\nBeliau juga berkata, Nuklear Malaysia telah menghasilkan radio isotop Samarium 153 bersama-sama kit EDTMP untuk rawatan paliatif pesakit kanser yang digunakan untuk membantu melegakan kesakitan tulang yang dihidapi oleh pesakit tersebut.\nSamarium 153 yang selamat digunakan mempunyai beberapa kelebihan seperti memberikan penambahbaikan ketara skor kesakitan kepada pesakit selain mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan analgesik narkotik.\nNuklear Malaysia yang merupakan sebuah agensi di bawah MOSTI memainkan peranan yang besar dan memberikan dimensi baharu kepada landskap perubatan negara kerana dapat menjimatkan kos, yakni ubat yang diperlukan tidak perlu lagi diimport dari luar negara.\nTambah beliau lagi, Nuklear Malaysia turut menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan beberapa produk biokomposit, iaitu bahan baharu berasaskan serat semula jadi yang diadun bersama-sama bahan plastik tersinar dan digabungkan dengan partikel nano.\nBahan komposit ini juga telah dipertingkat sifatnya seperti kekuatan dan ketegaran, ketahanan air, sifat mekanik, sifat terma serta sifat fizikal. Bahan ini juga mudah diproses dan dibentuk menjadi produk yang diperlukan.\nDalam perkembangan lain, MOSTI menerusi Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) sedang giat menjalankan projek Pembangunan Pusat Kemudahan Latihan Simulasi Pasukan Tindak Balas Nuklear (RMKe-12).\nBeliau turut menjelaskan bahawa projek ini merupakan satu daripada usaha untuk menjadikan AELB sebagai sebuah pusat latihan fizikal bagi meningkatkan dan mengekalkan keupayaan pasukan terhadap tindak balas nuklear dalam menangani kejadian radiologi dan nuklear.\nSementara itu, bagi rakyat di Johor, pusat operasi AELB di Pejabat Cawangan Kulai sentiasa bersedia untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat, terutamanya dalam penyampaian perkhidmatan perlesenan dan penguatkuasaan tenaga atom yang lebih cekap dan berkesan." "Malaysia Rekod Peningkatan Jangkitan Malaria Zoonotik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Malaysia menghadapi ancaman peningkatan jangkitan malaria zoonotik yang ditularkan oleh haiwan seperti beruk dan kera kepada manusia melalui gigitan nyamuk Anopheles sp.\nMenurut Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin dalam kenyataan medianya pada hari ini, kes malaria zoonotik di Malaysia telah meningkat kepada 3575 kes pada tahun 2021, berbanding dengan 376 kes pada tahun 2008.\nPeningkatan kes malaria zoonotik adalah disebabkan oleh pembukaan tanah yang pesat untuk aktiviti perladangan yang menyebabkan peningkatan pendedahan manusia kepada haiwan perumah semula jadi kepada parasit Plasmodium knowlesi.\nTambahnya lagi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mempertingkat keupayaan diagnosa malaria zoonotik melalui kaedah reaksi rantai polimerase (PCR) dan rawatan malaria sedia ada juga berkesan untuk malaria zoonotik.\nMenurut Khairy Jamaluddin lagi, Malaysia telah mencapai sifar malaria manusia jangkitan tempatan selama empat tahun berturut-turut, bermula pada tahun 2018 hingga 2022.\nKejayaan membendung malaria manusia jangkitan tempatan adalah hasil keberkesanan inovasi, strategi pengurusan kes dan kawalan vektor yang dilaksanakan oleh KKM. Antara inovasi tersebut ialah semburan residual racun serangga, penggunaan kelambu berubat dan penggunaan ubat Artemisinin Combination Therapy bagi rawatan malaria.\nWalau bagaimanapun, Malaysia masih terdedah kepada risiko kemasukan semula jangkitan malaria manusia.\n\u201cPada tahun 2021, terdapat sebanyak 111 kes import manusia. KKM telah menyusun strategi baharu seperti saringan malaria di pintu masuk terpilih, memetakan kawasan yang mempunyai risiko tinggi kemasukan semula malaria dan mengenal pasti sektor berisiko seperti perladangan dan perhutanan untuk aktiviti survelan malaria.\u201d\nSehubungan dengan itu, beliau menasihatkan jika seseorang itu bergejala demam, mempunyai sejarah masuk ke kawasan berisiko malaria atau baru pulang dari negara endemik malaria, mereka perlu mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan.\n\u201cPekerja dalam sektor perladangan dan perhutanan perlu melakukan ujian saringan malaria secara berkala. Amalkan langkah pencegahan jangkitan seperti pemakaian seluar panjang dan baju berlengan panjang serta menggunakan ubat penghalau nyamuk untuk melindungi diri dari gigitan nyamuk,\u201d jelasnya lagi.\nHari Malaria Sedunia merupakan satu daripada sambutan Hari Kesihatan Awam Sedunia yang disambut pada 25 April setiap tahun. Tema sambutan pada tahun ini ialah Harness Innovation to Reduce The Malaria Disease Burden and Save Lives.\nPada tahun ini, pelbagai program telah diatur termasuklah program bual bicara radio dan televisyen, pertandingan video TikTok malaria dan pameran kesihatan berkaitan malaria. Majlis Pelancaran Hari Malaria Sedunia Peringkat Kebangsaan akan menjadi pengisian utama jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat pada 16 Julai hingga 17 Julai 2022 di daerah Kinta, Perak." "Gempa Bumi Lemah Landa Kundasang, Sabah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Gempa bumi lemah dengan magnitud 3.7 skala Richter telah melanda Kundasang, Sabah pada pukul 9.28 pagi ini.\nJabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) melaporkan pusta gempa bumi tersebu terletak pada 6.10 utara dan 116.60 timur, iaitu 14 kilometer barat laut dari Ranau dengan kedalaman 10 kilometer.\nGempa bumi tersebut mengakibatkan gegaran yang boleh dirasai di sekitar Ranau, Sabah. MET Malaysia juga mengesahkan bahawa tiada ancaman tsunami dikeluarkan setakat ini.\nOrang ramai yang merasai gegaran gempa bumi itu diminta mengisi borang soal selidik di sini." "Raja Muda Perlis Titah Kekalkan Status Sifar Malaria Manusia Jangkitan Tempatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 \u201cMasyarakat perlu bersama-sama mengekalkan status sifar malaria manusia jangkitan tempatan di negara ini,\u201d titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersempena dengan\u00a0Hari Malaria Sedunia yang disambut pada 25 April setiap tahun.\nBaginda bertitah demikian dalam siaran media Yayasan Tuanku Syed Putra bersempena kempen Perlis Hebat: Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Tindakan yang dianjurkan oleh yayasan berkenaan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Yayasan Tuanku Fauziah, hari ini.\nSambutan Hari Malaria Sedunia bertujuan memberikan kesedaran dan meningkatkan pengetahuan masyarakat berkaitan dengan penyakit malari dengan tema \u201cMemanfaatkan Inovasi dalam Mengawal dan Mencegah Kematian Malaria\u201d. Tema sambutan pada tahun ini juga menggalakkan inovasi serta memperluas penggunaan teknologi untuk meningkatkan keberkesanan strategi bagi mengawal malaria.\nMenurut baginda, syarikat yang menggaji pekerja warganegara asing perlu memastikan pekerja tersebut, terutamanya dari negara endemik malaria telah disaring penyakit ini setiap kali mereka datang ke Malaysia.\nIndividu yang mempunyai sejarah menjalankan aktiviti berisiko jangkitan malaria dalam masa terdekat juga perlu mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berhampiran dengan segera sekiranya mengalami gejala malaria seperti demam, sejuk menggigil, berpeluh atau badan lemah.\nPengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Sirajuddin Hashim juga memaklumkan bahawa walaupun Malaysia telah mencapai sifar malaria manusia jangkitan tempatan sejak tahun 2018, namun begitu negara ini masih terdedah kepada kemasukan kes import malaria manusia yang boleh menjejaskan status Malaysia sebagai negara bebas malaria manusia jangkitan tempatan.\nTambah beliau lagi, trend peningkatan malaria zoonotik daripada spesies Plasmodium knowlesi yang berpunca daripada monyet juga amat membimbangkan. Oleh itu, pelibatan semua pihak serta komuniti adalah sangat penting agar dapat bersama-sama mencegah jangkitan malaria di negara ini, khususnya di negeri Perlis." "Pahang Tandatangani Perjanjian Tambahan Struktur Semula Perkhidmatan Air\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Pahang telah menandatangani Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Utama Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan pada hari ini di Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).\nSesi menandatangani perjanjian tersebut disaksikan oleh disaksikan oleh Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat Dato\u2019 Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Menteri KASA, Yang Berhormat Dato\u2019 Mansor Haji Othman.\nPerjanjian Tambahan ini melibatkan empat pihak, iaitu Ketua Setiausaha KASA yang mewakili Kerajaan Persekutuan, Yang Berbahagia Dato\u2019 Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Setiausaha Kerajaan Pahang mewakili Kerajaan Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato\u2019 Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif mewakili Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Encik Abdul Hadi Ali; dan Ketua Pegawai Eksekutif mewakili Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Encik Saiful Zaini Mohd Bahari.\n\u00a0\nMelalui kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, antara intipati utama Perjanjian Tambahan ini ialah pemberian moratorium kepada PAIP bermula daripada kenaikan tarif air dan penetapan tempoh pinjaman selama 45 tahun diberikan kepada PAAB, termasuklah tempoh selama lima tahun penangguhan pinjaman yang berkuat kuasa mulai tarikh kenaikan tarif air di Pahang dilaksanakan.\nDalam kenyataan yang sama, penyempurnaan penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri Pahang ini dilaporkan tidak memberikan implikasi kewangan secara langsung kepada Kerajaan Persekutuan dan persetujuan pelaksanaan hapus kira pinjaman bekalan air luar bandar kepada Pahang yang berjumlah RM1 bilion masih tertakluk.\nDi samping itu, PAIP juga berpotensi mendapatkan akses kepada kemudahan pinjaman PAAB untuk pembangunan aset air di Pahang berdasarkan pendekatan build and lease dengan kadar kompetitif berbanding dengan pembiayaan komersial.\nHal ini membolehkan PAIP memulakan penambahbaikan kecekapan dan peningkatan kualiti perkhidmatan air kepada pengguna dengan pembinaan loji rawatan air baharu, naik taraf loji rawatan air sedia ada serta penggantian paip dan sistem agihan." "Bahaya Memandu Meredah Banjir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada suatu ketika dahulu, banjir amat sinonim dengan musim tengkujuh. Namun begitu, mutakhir ini bencana alam ini acap kali dilaporkan dan seolah-olah sudah tidak bermusim lagi. Banjir berlaku dengan kepantasan sederhana tetapi mempunyai saiz bencana yang besar. Bencana alam ini mampu merosakkan harta benda, kehilangan nyawa dan terputus hubungan disebabkan oleh jalan raya yang ditenggelami air.\nTerdapat dalam kalangan orang ramai yang berani mengambil risiko meredah banjir dengan memandu kenderaan dengan anggapan bahawa kedalaman air banjir yang cetek dan arus air tidak terlalu deras. Hakikatnya, memandu atau meredah jalan raya yang ditenggelami air banjir dan tidak diketahui kedalamannya ialah keputusan yang paling buruk.\nMemang sukar untuk menganggar kedalaman air banjir, terutamanya di jalan raya dan pada waktu malam. Kadangkala, jambatan atau jalan yang ditenggelami banjir mungkin telah rosak atau hanyut sepenuhnya. Dalam sesetengah keadaan, banjir yang berlaku adalah setempat sehinggakan keadaan boleh berubah daripada memandu di jalan yang kering kepada memandu di jalan yang ditenggelami air sejauh beberapa kilometer. Apabila kenderaan bergerak dengan laju di atas satu lapisan air, kenderaan tersebut boleh menyatah air. Hal ini boleh berlaku dengan lebih mudah jika tayar kenderaan itu telah haus. Dalam keadaan ini, pemandu tidak terlatih boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan dengan mudah.\nMenurut United States Geological Survey, air dengan kedalaman sebanyak 0.3 meter kebiasaannya mengenakan sekitar 230 kilogram metrik daya sisi ke atas kenderaan. Kajian menunjukkan bahawa air dengan kedalaman kira-kira 0.4 meter yang mencapai kelajuan 3.2 kilometer per jam mampu menghanyutkan kereta dari jalan raya. Apabila kenderaan telah terapung, air banjir akan bertindak seolah-olah seperti roda stereng. Sekiranya air banjir itu bergerak, air tersebut akan menghanyutkan kenderaan, menterbalikkan ke sisi atau menterbalikkan kenderaan sepenuhnya.\nAir banjir yang semakin meningkat boleh memasuki kenderaan dalam masa beberapa minit, malah mungkin dalam beberapa saat sahaja. Air banjir yang mengalir sedalam 0.15 meter sahaja boleh menghanyutkan kenderaan. Jika seseorang itu terjatuh dan tersungkum, individu tersebut mungkin lemas sebelum disedari. Air banjir yang bergerak mengenakan tekanan ke atas objek seperti kereta atau manusia. Tekanan yang dikenakan adalah lebih kuat apabila kedalaman air bertambah atau kenderaan berada di kawasan yang lebih luas terdedah kepada air bergerak. Selain itu, permukaan jalan akan menjadi lebih licin dan geseran akan berkurangan. Kehadiran air dengan pasir atau lumpur berkemungkinan menggantikan daya geseran yang mengekalkan kereta itu di tempatnya.\nMenurut Federal Emergency Management Agency, air dengan kedalaman sebanyak 0.15 meter akan mencecah bahagian bawah kebanyakan kereta penumpang dan menyebabkan kehilangan kawalan serta mungkin menegunkan kenderaan. Air sedalam 0.3 meter pula akan mengapungkan kebanyakan kenderaan, manakala air yang menderu sedalam 0.6 meter akan menghanyutkan kebanyakan kenderaan, termasuk kenderaan utiliti lasak (SUV) dan pikap.\nWalaupun berat SUV mungkin dirasakan dapat memberikan perlindungan lebih besar jika melintasi jalan yang tenggelam, saiznya dan tayarnya yang lebih besar boleh menyebabkannya timbul dan lebih mudah dihanyutkan. Hal ini adalah berbahaya untuk memandu SUV meredah banjir sebagaimana memandu kenderaan biasa. Air sedalam 0.15 meter sudah mencukupi untuk menyebabkan tayar kenderaan kehilangan cengkaman dan meluncur. Memang benar, orang ramai mungkin tidak berisiko mati lemas, tetapi boleh hilang kawalan ke atas kenderaan dengan mudah dan mengalami kemalangan teruk.\nSekiranya sesuatu kenderaan itu terapung, hal ini bermaksud kereta tersebut tidak boleh dikemudi atau dibrek. Air banjir yang menderu boleh menghanyutkan kenderaan ke hilir. Apabila ditolak ke hilir, terdapat kemungkinan besar kenderaan akan dihanyutkan ke kawasan air yang lebih dalam atau rosak teruk akibat terkena serpihan dan objek di dalam air. Air banjir sedalam 0.6 meter adalah berbahaya dan mampu untuk mengapungkan kereta sedan segmen C seberat 1300 kilogram. Apatah lagi jika kenderaan itu ialah kereta yang lebih kecil dan ringan.\nAntara bahaya lain yang menanti apabila memandu melalui jalan yang ditenggelami air banjir ialah terdapat kemungkinan enjin kenderaan akan mengalami hidrolok dan komponen elektronik tidak berfungsi. Hidrolok ini berlaku apabila air lantai memasuki kebuk pembakaran dan menghalang enjin daripada berfungsi.\nPendedahan yang berpanjangan kepada air banjir boleh menyebabkan kerosakan besar kepada sistem pendawaian dan elektrik kenderaan. Dalam kebanyakan sistem kereta moden, walaupun fungsi asas seperti menghidupkan enjin dikawal oleh sistem perkomputeran, sebarang kerosakan kepada sistem tersebut boleh membawa implikasi yang teruk. Hal ini termasuklah kereta tidak dapat dihidupkan.\nKos membaiki kerosakan kenderaan yang dimasuki air boleh mencecah ribuan ringgit, terutamanya untuk kenderaan yang sudah menggunakan \u201csuntikan bahan api elektronik\u201d yang banyak menggunakan sensor dan lebih sensitif. Tambahan pula, masa yang lebih diperlukan untuk proses pembaikian kenderaan yang rosak.\nJika air banjir masuk ke dalam kawasan enjin, risiko lain ialah pencemaran kepada cecair penting seperti minyak enjin kereta, minyak transmisi dan cecair pembezaan. Cecair ini membantu memastikan pelbagai komponen mekanikal kereta dilincirkan dengan betul dan bersih daripada sebarang serpihan serta menghilangkan haba yang berlebihan. Namun demikian, jika cecair ini bercampur dengan air, fungsi bagi setiap satunya akan terjejas. Memandu dengan cecair tercemar air banjir boleh menyebabkan geseran, haba dan lelasan yang berlebihan. Hal ini akan menyebabkan kehausan pramatang kepada bahagian dalam kereta dan seterusnya berisiko terhadap kegagalan komponen.\nSecara umumnya, logam akan berkarat apabila terkena air. Kereta pada asasnya adalah seperti sebuah kotak logam yang direka bentuk secara kompleks. Mana-mana bahagian logam kenderaan yang tidak dilindungi dengan betul akan mula berkarat selepas terdedah kepada air banjir. Air juga merupakan konduktor elektrik. Jika terdapat sebarang wayar yang tenggelam dalam banjir yang menyebabkan kenderaan tenggelam, terdapat risiko yang tinggi untuk berlakunya renjatan elektrik.\nAir banjir adalah sangat kotor kerana bukan sahaja terdiri daripada air hujan tetapi telah bercampur dengan air kumbahan, bahan kimia dan bahan pencemar, dan pelbagai detritus. Apabila memandu di atas jalan raya yang ditenggelami air banjir, kenderaan mungkin telah terkena air tercemar. Kemasukan air banjir seterusnya boleh menyebabkan pembiakan kulat dan bakteria terutamanya di bahagian kenderaan yang gelap, susah dicapai dan pengudaraan yang kurang baik. HaI ini akan menyebabkan kereta berbau busuk, hapak dan kualiti udara yang tidak sihat.\nOrang ramai juga harus mengelak daripada memandu di dalam air yang talian elektrik atau kuasa telah terjatuh ke dalamnya. Hal ini disebabkan oleh arus elektrik mengalir di dalam air dengan mudah. Jika memandu di dalam air sedalam rim roda atau lebih tinggi, orang ramai dinasihatkan untuk menguji brek di jalan yang kering dengan kelajuan yang rendah. Jika kenderaan tersebut basah dan tidak menghentikan kenderaan sebagaimana yang sepatutnya, brek boleh dikeringkan dengan menekan lembut injak brek dengan kaki kiri sambil mengekalkan kelajuan dengan kaki kanan.\nSekiranya orang ramai berdepan dengan jalan yang dibanjiri, amatlah digalakkan untuk memilih laluan alternatif. Sekiranya tiada laluan alternatif dan perlu memandu melalui air banjir, cuba sebaik mungkin untuk menganggar kedalaman air dan memandu dengan perlahan di bahagian tengah jalan dan tetap melalui air. Jika kenderaan berhenti di air banjir yang dalam, enjin perlu dihidupkan semula untuk menyelamatkan diri. Jika kenderaan tidak dapat dihidupkan semula dan terperangkap dalam air yang semakin tinggi, tinggalkan kenderaan dengan serta merta dan naik ke tempat lebih tinggi. Di samping itu, cuba untuk membuka pintu atau turunkan tingkap untuk keluar daripada kenderaan. Sekiranya tidak dapat keluar dengan selamat, hubungi 999 atau tarik perhatian orang yang lalu-lalang atau seseorang yang berada di tempat lebih tinggi untuk meminta bantuan. Selain itu, cari poket udara terperangkap, yang biasanya terletak di tingkap belakang atau bumbung kenderaan. Jika tingkap kenderaan tidak dapat dibuka, pecahkan tingkap tersebut dengan alat menyelamat.\nMenyedari kepentingan ini, kerajaan Amerika Syarikat dan Australia telah mengambil langkah proaktif dengan melancarkan kempen keselamatan semasa banjir dengan mempopularkan frasa Turn Around, Don\u2019t Drown dan If It Is Flooded, Forget It. Kempen keselamatan seperti ini pasti dapat mempengaruhi tingkah laku ketika dilaksanakan bersama-sama dengan perundangan dan penguatkuasaan undang-undang. Pada masa ini, adalah menjadi satu harapan sekiranya kempen yang seumpama ini dapat dilaksanakan, terutamanya oleh pihak berwajib di negara ini kerana diketahui bahawa Malaysia menerima purata taburan hujan tahunan yang tinggi, iaitu sekitar 2500 milimeter hingga 3500 milimeter.\nOrang ramai diingatkan supaya tidak terlalu naif tentang bahaya memandu dalam banjir. Setiap kali berhadapan dengan jalan yang dinaiki air, oramg ramai perlu sentiasa untuk mengelak daripada melalui kawasan tersebut. Pilihan yang lebih baik adalah mengambil laluan lain atau meletakkan kenderaan di tempat yang selamat sehingga banjir surut. Sebelum meninggalkan rumah, orang ramai disarankan supaya menyemak ramalan cuaca terlebih dahulu untuk kemungkinan sebarang hujan lebat atau banjir.\n\u00a0\nProfesor Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff ialah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia." "Perbaharui Tekad dan Mainkan Peranan dalam Konservasi Tapir Malaya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Menteri Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Yang Berhormat Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyeru seluruh Keluarga Malaysia memperbaharui tekad dan bersama-sama memainkan peranan dalam konservasi Tapir Malaya bersempena dengan Hari Tapir Sedunia 2022, hari ini.\nHari Tapir Sedunia disambut pada 27 April setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan dalam memelihara spesies tapir dan habitatnya. Tapir Malaya termasuk dalam satu daripada spesies ikonik di Malaysia yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan merupakan spesies yang terancam dalam Senarai Merah Spesies Terancam, Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) dan Senarai Merah Mamalia untuk Semenanjung Malaysia 2017.\nMalaysia bertuah kerana mempunyai spesies Tapir Malaya yang merupakan spesies tapir terbesar di dunia. Tapir Malaya berbeza dengan spesies tapir lain di dunia kerana tapir ini adalah satu-satunya spesies tapir yang mempunyai dua warna yang jelas, iaitu hitam dan putih apabila meningkat dewasa.\nJabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia di bawah KeTSA akan sentiasa mempertingkat usaha konservasi in situ Tapir Malaya.\nMenurut beliau, antara usaha kerajaan dalam melindungi spesies terancam ini, termasuklah dengan mengukuhkan perlindungan habitat dan koridor ekologi, melaksanakan inventori serta menguruskan konflik melalui operasi menyelamat dan memindah, memasang jalur rentas kuning, solar amber light, dan papan tanda hidupan liar melintas di lokasi yang dikenal pasti.\nSelain itu, bagi konservasi ex situ pula, program pembiakan Tapir Malaya di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Selangor telah menghasilkan sebanyak 18 kelahiran di dalam kurungan, manakala sebanyak 14 ekor Tapir Malaya yang diselamatkan akibat konflik dengan manusia telah dilepaskan semula ke habitat semula jadi sejak tahun 2008.\nKerajaan akan terus mempergiat langkah konservasi spesies terancam ini dengan menubuhkan Pusat Konservasi Tapir di Kenaboi, Negeri Sembilan yang dijangka akan siap dibina pada tahun 2025." "Perlembagaan Paksi Keunggulan Bahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Polemik yang berkaitan dengan bahasa kedua ASEAN kini menjadi topik perbincangan hangat di mana-mana sahaja, bukan sahaja di media sosial milik warga ASEAN bahkan menghiasi media arus perdana ASEAN. Ternyata bahawa gagasan daripada YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri, Perdana Menteri Malaysia agar bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa antarabangsa, seterusnya menyerlahkan kewibawaan bahasa ini sebagai bahasa kedua ASEAN telah menerbitkan satu desakan untuk mengkaji semula gagasan ini.\nGagasan yang mendapat maklum balas positif rakan sejawat, iaitu Presiden Indonesia, Joko Widodo, meledak dengan pantas dan menimbulkan pelbagai reaksi. Antaranya termasuklah kenyataan Nadiem Makarim, Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, yang menolak cadangan Malaysia untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua rasmi ASEAN. Penolakan beliau itu berintikan cadangan agar satu kajian dan perbincangan lanjut perlu dilakukan ke atas saranan Perdana Menteri Malaysia itu.\nSehubungan dengan itu, menerusi FB Live TV Majlis Profesor Negara, satu wacana telah diadakan yang bertajuk \u201cBahasa Melayu\u2013Indonesia sebagai Bahasa Antarabangsa\u201d. Wacana ini menampilkan Prof. Dr. Kamaruddin M. Said, Timbalan Presiden Majlis Profesor Negara (Malaysia), Prof. Dr. Ir Ari Purbayonto, Ketua Asosiasi Profesor Indonesia (Indonesia) dan Prof. E. Aminuddin Aziz, Asosiasi Profesor Indonesia (Indonesia) dan dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Pakar Psikologi Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Felo Kluster Wanita dan Masyarakat, Majlis Profesor Negara.\nMenurut Prof. Datuk Dr. Raduan Rose, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Profesor Negara, bahasa Melayu telah diangkat martabatnya sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia berdasarkan sejarah yang ditelusuri oleh bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca serta terakam dalam Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu yang menetapkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu yang dibuat bersama-sama pemimpin negara Malaysia semasa mencapai kemerdekaan. Sejak itu, bahasa Melayu terus berkembang dengan pesat dan mendorong YAB Perdana Menteri Malaysia untuk mengangkat bahasa ini ke taraf antarabangsa khususnya sebagai bahasa kedua ASEAN.\nProf. Dr. Kamaruddin M. Said pula mencadangkan bahasa Melayu yang pernah dinamakan sebagai bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan Malaysia dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan diteliti semula. Sekiranya disebut bahasa Melayu itu juga ialah bahasa Malaysia, mungkin tidak timbul pertentangan atau perbezaan ketara bagi menempatkan bahasa Malaysia\u2013Indonesia sebagai bahasa ASEAN.\nBeliau juga menyatakan bahawa pencapaian yang telah diraih oleh bahasa Indonesia di peringkat antarabangsa jauh lebih luas daripada bahasa Melayu dan boleh dianalogikan dengan budaya maritim di Alam Melayu ini, iaitu bahasa Indonesia sebagai kapal induk kerana mempunyai penutur lebih daripada 278 juta orang serta algoritma bahasa Indonesia yang lebih mantap.\nBahasa Melayu pula dianggap sebagai kapal pengiring yang akan memperkukuh kedaulatan serta kekuatan bahasa yang terbit daripada akar bahasa Melayu di peringkat ASEAN dan antarabangsa. Tambahnya lagi, walaupun mempunyai bahasa serumpun tetapi tidak serupa dan dengan menggunakan analogi ini, beliau berhasrat agar permuafakatan bagi merealisasikan hasrat YAB Perdana Menteri ini akan menemukan jalan yang terbaik.\nDalam pada itu, menurut Prof. Dr. Ir. Purbayonto, penolakan Indonesia terhadap saranan ini berteraskan kedaulatan Undang-undang Dasar Negara Republik Indonesia Tahun 1945. Menurut beliau, Indonesia mempunyai sejumlah 718 bahasa dan bahasa Melayu merupakan satu daripada bahasa daerah atau etnik Indonesia. Harus difahami oleh semua, bagaimana bahasa Melayu dan bahasa-bahasa daerah yang lainnya mengakari bahasa Indonesia lalu ditetapkan sebagai bahasa negara dan dinamai dengan nama bahasa Indonesia dan dimajukan serta akhirnya mempersatukan seluruh kepelbagaian rakyat Indonesia yang mempunyai 278 juta rakyat.\nWalaupun diakari oleh bahasa Melayu Riau dan memiliki persamaan yang jelas dengan bahasa Melayu di Malaysia, kosa kata yang terdapat dalam bahasa Indonesia jelas ada perbezaannya kerana dipengaruhi oleh bahasa dari daerah yang telah diserap ke dalam bahasa Indonesia seperti bahasa Jawa, Sunda, Madura, Sulawesi, Papua dan lain-lain. Demikianlah bagaimana bahasa Indonesia telah diperkasakan dan diperluas di serata dunia. Di negara tertentu, bahasa Indonesia juga telah menjadi bahasa kedua dan ketiga.\nProf. E. Aminuddin Aziz pula menjelaskan tentang pencapaian besar yang telah diraih oleh bahasa Indonesia sehingga meletakkan bahasa ini sebagai bahasa antarabangsa yang pertama kerana didasari oleh perlembagaan negara ini pada 28 Oktober 1928. Bahasa Melayu yang mengakari bahasa negara Indonesia dinamai dengan bahasa Indonesia agar senafas dengan iltizam kemerdekaan atas Sumpah Pemuda yang ketiga yang menyebut bahasa Indonesia merupakan bahasa persatuan bangsa Indonesia dan kemudiannya ditetapkan dalam Undang-undang Dasar 1945 Bahasa Negara Bahasa Indonesia.\nSejak itu, Indonesia tidak lagi menoleh ke belakang dalam usahanya memajukan korpusnya dengan memastikan 718 jenis bahasa yang meliputi 87 ragam dialek termasuklah bahasa Melayu dibina, dikembangkan hingga ke peringkat antarabangsa. Hingga kini, terdapat 47 negara di dunia merangkumi 428 institusi yang bertindak sebagai pusat pengembangan bahasa Indonesia dan mempunyai sejumlah 142 ribu pelajar asing yang aktif belajar bahasa ini. Hal ini menurutnya berdasarkan penelitian yang amat rinci oleh agenda politik bahasa negara ini yang meletakkan agenda bahasa juga merupakan misi untuk mengangkat kedaulatan negara Indonesia.\nASEAN yang ditubuhkan pada tahun 1967 telah menggunakan bahasa Inggeris dalam urus tadbirnya kepada negara-negara anggota dan ketetapan untuk penggunaan bahasa Melayu\u2013Indonesia yang dicadangkan ini menurut pandangan beliau juga sama ada akan dilaksanakan di peringkat organisasi ataupun masyarakat ASEAN itu sendiri. Ujarnya lagi, bahasa itu harus berkembang secara semula jadi dan melalui strategi yang tepat agar dapat memberikan impak yang positif yang bukan secara paksaan.\nKetiga-tiga panel turut mencapai persetujuan bersama bahawa satu perancangan yang dianggotai oleh pakar bahasa dan pentadbir negara Indonesia, Malaysia dan Brunei khususnya daripada MABBIM serta negara ASEAN lainnya akan dipertemukan untuk perbincangan lanjutan bagi permuafakatan menetapkan bahasa kedua ASEAN." "Fenomena Hujan Tahi Bintang Eta Aquarids hingga Hujung Mei\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Orang ramai dapat menyaksikan fenomena angkasa yang dikenali sebagai hujan tahi bintang Eta Aquarids bermula daripada 19 April hingga 28 Mei 2022.\nBerdasarkan hantaran di laman Facebook Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), kemuncak fenomena ini berlaku pada awal pagi 7 Mei 2022 dengan purata sebanyak 50 tahi bintang per jam dengan kelajuan 66 kilometer sejam. Kenampakan hujan tahi bintang adalah baik kerana tiada gangguan bulan semasa kemuncak fenomena tersebut terjadi.\nMenurut MYSA, hujan tahi bintang Eta Aquarids merujuk titik kemunculan hujan tahi bintang di langit, iaitu di kawasan buruj Aquarius, tetapi kemunculannya masih boleh berlaku daripada pelbagai arah. Fenomena yang dinamakan bersempena dengan bintang paling terang dalam buruj Aquarius, iaitu Eta Aquarii ini berlaku pada setiap tahun apabila bumi beredar mengelilingi matahari merentasi laluan orbit komet 1P/Halley atau dikenali sebagai Komet Halley.\nHujan tahi bintang Eta Aquarids terjadi disebabkan oleh debu komet Halley selain hujan tahi bintang Orionids yang berlaku pada bulan Oktober setiap tahun. Komet Halley dianggarkan mengambil masa selama 75 tahun hingga 76 tahun untuk melengkapkan orbitnya.\nJelas MYSA lagi, semasa komet ini mengorbit dan menghampiri matahari, debu komet yang terbebas disebabkan oleh proses pemejalwapan akan berserakan dan membentuk laluan yang dipenuhi dengan sisa komet tersebut. Sisa tinggalan inilah yang akhirnya akan memasuki atmosfera bumi dan terbakar lalu membentuk jalur bersinar yang panjang.\n(Sumber: Facebook Agensi Angkasa Malaysia)" "Sang Bedal di Bumi Kenyalang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSarawak ialah negeri terbesar dalam Malaysia dan terletak di Pulau Borneo. Negeri ini mempunyai kepelbagaian flora dan fauna yang tinggi dan menjadikannya titik tumpuan biodiversiti atau biodiversity hotspot. Satu daripada fauna yang dikaitkan dengan Sarawak ialah buaya.\nTerdapat dua jenis buaya di Sarawak, iaitu buaya tembaga atau buaya katak, (Crocodylus porosus) dan buaya jejulong (Tomistoma schlegelii). Buaya tembaga mudah dilihat di sungai sekitar Sarawak (air payau dan air tawar), tasik, kolam, kawasan pantai dan laut.\u00a0 Buaya jejulong pula hanya mendiami persekitaran air tawar sahaja, iaitu di kawasan hulu sungai, paya gambut dan tasik seperti Tasik Loagan Bunut di Miri, Sarawak.\nBuaya tembaga memiliki kepala yang besar dan mampat dengan muncung yang lebih lebar berbanding dengan buaya jejulong. Muncung buaya jejulong yang lebih panjang merupakan kelebihan fizikal yang memudahkan spesies ini menangkap pelbagai jenis ikan sebagai makanan utamanya. Buaya katak selalunya akan bertindak agresif apabila merasa terancam, mendapatkan makanan secara serang hendap haiwan lain dan mempunyai sifat melindungi wilayah yang didiaminya.\nBuaya jejulong sangat sukar dilihat di habitat asal kerana sifatnya yang pemalu dan gemar bersembunyi di celah-celah tumbuhan air atau menyorok di bawah tumbuhan terapung di ekosistem air tawar serta persekitaran paya gambut. Mengikut rekod sejarah, hampir tiada kejadian membabitkan konflik antara buaya jejulong dengan manusia. Hal ini berkemungkinan besar disebabkan oleh sifat semula jadi spesies ini yang suka bersembunyi dan mengelak daripada berjumpa dengan manusia.\nDi Sarawak, kajian saintifik mendapati bahawa wujudnya populasi kecil buaya jejulong di Sebuyau, Serian, Samarahan dan Miri. Analisa genetik menunjukkan populasi buaya jejulong liar di Sarawak mempunyai pertalian susur galur antara satu sama lain. Namun begitu, kepelbagaian genetik lebih tinggi direkodkan oleh populasi buaya jejulong yang mendiami sungai di Miri. Oleh sebab itu, usaha konservasi perlu ditingkatkan untuk memulihara spesies terancam ini.\nBuaya tembaga lebih terkenal di Sarawak dengan panggilan Bujang Senang. Nama Bujang Senang berasal daripada nama yang diberikan kepada seekor buaya jantan yang sering menyerang orang awam sehingga mengakibatkan banyak kematian di sekitar Sungai Batang Lupar pada tahun lewat 1980-an. Bujang Senang telah ditembak mati pada tahun 1992 oleh pasukan tembak tepat Polis Diraja Malaysia dan sekumpulan pemburu Iban.\nKonflik antara buaya dan manusia atau human-crocodile conflict (HCC) telah mula dicatatkan pada tahun 1900 lagi dan berterusan sehingga ke hari ini. Namun demikian, data menunjukkan bahawa HCC berada dalam jumlah yang masih terkawal. HCC memberikan impak negatif terhadap manusia kerana hal ini menganggu kehidupan harian serta mendatangkan rasa takut melampau atau gangguan kesihatan mental, terutamanya kepada mereka yang trauma akibat serangan buaya.\nPada era Rajah di Sarawak, iaitu pada tahun 1900 hinga tahun 1941, dilaporkan banyak HCC berlaku yang melibatkan buaya menyerang manusia. Manusia yang diserang buaya pada zaman tersebut kebiasaannya menemui ajal kerana tidak terdapat kemudahan hospital dan perubatan seperti hari ini. Akibatnya, ramai yang hidup dalam ketakutan memandangkan pada zaman tersebut kehidupan harian sangat bergantung dengan sungai untuk pengairan kebun pertanian, pengangkutan, melakukan aktiviti harian seperti mandi dan membasuh pakaian serta sebagai sumber air untuk memasak makanan dan minuman.\nPemerintah negeri Sarawak pada ketika itu memberikan hadiah lumayan berbentuk wang bagi sesiapa yang dapat membunuh buaya bagi mengawal bilangan buaya dalam sungai bagi mengelakkan peningkatan HCC. Selepas Perang Dunia Kedua, urus niaga berkaitan kulit buaya meningkat secara mendadak dan mencapai kemuncaknya pada tahun 1960-an. Peningkatan urus niaga ini berkait rapat dengan perniagaan mewah jual beli kulit buaya, lalu pemburuan buaya di sungai sekitar Sarawak berleluasa dan akhirnya mengakibatkan kepupusan spesies tersebut pada sekitar tahun 1980-an.\nPada tahun 1990, kerajaan Negeri Sarawak memperkenalkan Akta Haiwan Terlindung di Sarawak dan buaya tembaga serta buaya jejulong tersenarai dalam akta tersebut. Menurut akta ini, buaya tidak boleh dipelihara sebagai haiwan peliharaan, diburu, ditangkap, dibunuh atau diperdagangkan. Sesiapa yang disabitkan kesalahan, boleh dipenjara maksimum selama setahun atau didenda maksimum sebanyak RM10 ribu. Dengan adanya undang-undang ini, populasi buaya di Sarawak telah meningkat berlipat kali ganda, di samping kerja keras aktiviti pemuliharaan buaya yang dijalankan oleh agensi terbabit dan pihak bukan kerajaan (NGO). Keadaan ini kini mendatangkan cabaran yang baharu, iaitu HCC.\nPada era Millenial, Kerajaan Negeri Sarawak berusaha memohon menukarkan status buaya Sarawak daripada Lampiran I kepada Lampiran II dalam Perhimpunan Perdagangan Antarabangsa Bagi Spesies Haiwan dan Tumbuhan Liar yang Terancam (CITES). Setelah hampir lima tahun usaha ini dilakukan, penukaran status tersebut telah berjaya. Kini, buaya liar Sarawak boleh ditangkap dan didagangkan (eksport) tetapi memerlukan permit dari pihak berwajib demi menjaga populasi buaya. Hal ini untuk mengelakkan supaya buaya tidak bertukar status kepada haiwan terancam semula.\nDi samping itu, penukaran status buaya ini juga telah membuka lebih banyak peluang kepada individu atau syarikat untuk mengusahakan akuakultur buaya. Pemburuan buaya secara komersial juga boleh dilakukan dengan kebenaran dan memberikan manfaat sosioekonomi kepada masyarakat tempatan.\nAkuakultur merujuk membiak dan memelihara haiwan akuatik atau menanam tumbuhan akuatik bagi tujuan makanan, kegunaan domestik atau dijual secara komersial.\u00a0 Akuakultur buaya boleh dijalankan di Sarawak kerana mempunyai sumber induk yang banyak dan sihat serta boleh diambil terus daripada populasi liar.\nDi samping itu, telur buaya boleh diambil dari sarang buaya di tepi sungai dan seterusnya dieram dalam inkubator. Selepas 60 hari, telur tersebut akan menetas dan munculnya anak buaya. Anak- buaya tersebut boleh dipelihara sehingga besar dan matang bagi tujuan mendapatkan kulit, daging, telur dan organ.\nKulit buaya mempunyai nilai yang tinggi dan digunakan untuk membuat tas tangan, beg, kasut tali pinggang dan sebagainya. Daging dan telur buaya dikatakan mempunyai rasa yang enak apabila dihidangkan sebagai juadah. Organ dalaman buaya pula dijual di kedai tabib Cina kerana dikatakan mempunyai pelbagai khasiat dan menyembuhkan pelbagai penyakit misalnya asma.\nMenyedari kepentingan buaya sebagai sumber asli negeri, Pelan Pengurusan Buaya Sarawak 2016 \u2014 2020 diwujudkan. Kewujudannya pelan ini juga adalah bersempena dengan pertukaran status buaya Sarawak dalam CITES. Kini, pelan fasa kedua (2021 \u2014 2025) sedang dibangunkan dengan mengambil kira kepadatan dan taburan buaya terkini di semua Lembangan Sungai di Sarawak kerana pemburuan buaya liar telah dibenarkan mulai tahun 2016.\n\u00a0\nKajian bagi menentukan kepadatan dan taburan buaya di lembangan sungai di Sarawak dijalankan oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) dengan kolaborasi kumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Sarawak.\u00a0 Pelan Pengurusan Buaya Sarawak juga memberikan garis panduan bagi menangani HCC. Sebagai contohnya, menangkap buaya besar yang bertindak agresif di tempat awam dan menempatkannya semula di habitat semula jadi yang jauh daripada penempatan manusia atau di kawasan perlindungan buaya.\n\u00a0\nSelain itu, untuk mengurangkan HCC secara berterusan, masyarakat yang tinggal ditepi sungai atau persisiran pantai haruslah dididik untuk mempunyai kesedaran terhadap risiko bahaya haiwan liar ini. Mereka juga mesti mengambil langkah keselamatan yang sesuai daripada terjebak menjadi mangsa kepada buaya.\nBuaya telah mendiami bumi semenjak zaman prasejarah. Haiwan ini mempunyai tahap kemandirian yang tinggi lalu dan agak mustahil untuk dilenyapkan dari muka bumi ini dengan sekelip mata sahaja. Buaya dan manusia akan sentiasa berkongsi ruang kehidupan yang sama. Buaya ialah haiwan liar dan mempunyai sifat yang diwarisi semula jadi liar dan tentunya tidak dapat dikawal oleh manusia. Namun begitu, manusia mempunyai kelebihan akal fikiran di samping memiliki daya kreativiti yang tinggi untuk mengawal keadaan dan meneruskan kehidupan lestari bersama-sama dengan buaya." "Monsun Barat Daya Bermula Sabtu Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Monsun Barat Daya dijangka bermula pada Sabtu ini dan berterusan sehingga pertengahan bulan September.\nMenerusi kenyataan media oleh Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah pada pagi ini, beliau menyatakan bahawa semasa tempoh ini, angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.\nHal ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan dan kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding dengan musim lain di samping menghasilkan taburan hujan yang rendah.\nTambah beliau, hujan lebat beserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi dan dijangka berlarutan sehingga beberapa jam.\nDalam tempoh ini juga, fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal, terutamanya pada bulan Ogos hingga bulan Oktober.\nOrang ramai dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh ini.\nMaklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial dan talian penting Jabatan Meteorologi Malaysia di 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut." "9230 Pesakit Menjalani Rawatan Perubatan Rehabilitasi Gejala COVID Berpanjangan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Sebanyak 9230 orang pesakit telah menjalani rawatan perubatan rehabilitasi berpanjangan di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seluruh negara setakat bulan April tahun ini.\nMenurut Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin, sebanyak 2798 orang pesakit daripada jumlah tersebut melalui rawatan pesakit dalam, manakala selebihnya melalui rawatan pesakit luar.\nSebanyak 30 peratus hingga 40 peratus pesakit COVID berpanjangan dapat kembali bekerja dalam tempoh tiga bulan selepas dijangkiti COVID-19, manakala 60 peratus hingga 70 peratus pula dapat kembali bekerja dalam tempoh enam bulan selepas dijangkiti virus ini.\nLebih 4.4 juta individu telah berjaya sembuh daripada jangkitan COVID-19 sejak virus ini mula melanda negara dua tahun lepas. Namun begitu, terdapat segelintir individu mengalami komplikasi atau sindrom COVID berpanjangan.\nTambah beliau, COVID berpanjangan boleh berlaku tanpa mengira tahap jangkitan COVID-19. Antara gejala yang kerap dialami dan boleh memberikan kesan terhadap kefungsian serta aktiviti harian individu yang terkesan ialah kelesuan, kesukaran bernafas, batuk, kesakitan sendi dan otot, kesukaran tidur nyenyak, kelemahan anggota badan, mengalami masalah deria, kegelisahan, kekabutan otak, dan lesi kulit.\nMengulas dengan lebih lanjut tentang hal ini, beliau menyatakan bahawa gejala ini boleh berterusan jika tiada rawatan yang khusus dan berstruktur sehingga menjejaskan kualiti hidup individu yang mengalaminya. Bahkan, keadaan tersebut juga boleh menyebabkan implikasi seperti peningkatan morbiditi, kehilangan upaya, penurunan produktiviti, hilang punca pendapatan yang akhirnya akan menyebabkan bebanan sosioekonomi bukan sahaja kepada individu yang dijangkiti virus tersebut malah kepada keluarganya, masyarakat dan ekonomi negara.\nIndividu yang mengalami gejala COVID berpanjangan serius sehingga menjejaskan kefungsian yang ketara serta menjejaskan keupayaan untuk kembali bekerja boleh merujuk kes mereka di hospital dengan kepakaran perubatan rehabilitasi seperti yang telah disenaraikan." "Penciptaan Alat untuk Peningkatan Kualiti Hidup\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDari tahun ke tahun, semakin banyak ciptaan yang hebat, canggih dan futuristik terhasil dari segenap pelosok dunia. Ciptaan seperti kereta dengan pemanduan automatik yang cukup canggih sudah cukup menunjukkan semakin hebat teknologi dunia pada masa sekarang. Namun demikian, jika dilihat pada sisi lain, ciptaan tersebut mungkin akan memberikan kesan kepada golongan berpendapatan tinggi atau mereka yang berada di negara maju. Golongan berpendapatan rendah atau mereka yang berada di negara membangun tidak menerima manfaat yang besar hasil ciptaan berteknologi tinggi ini. Bahkan, ciptaan ini tidak dapat membantu golongan tersebut secara langsung untuk meningkatkan kualiti kehidupan mereka.\nCiptaan yang ringkas dan mudah yang dicipta untuk kegunaan rakyat secara umum atau untuk kegunaan masyakat berpendapatan rendah secara khusus terkadang-kadang lebih berkesan dalam membantu meningkatkan kehidupan dan kualiti hidup rakyat di dunia ini. Sebagai contohnya, pada sekitar tahun 1990, Mohamed Bah Abba dari Nigeria telah mencipta satu ciptaan yang mampu menolong masyarakat di tempatnya yang dinamakan sebagai pot-in-pot refrigerator atau peti sejuk bekas di dalam bekas.\n\u00a0\nCiptaan ini menggunakan konsep penyejukan menyejat dengan satu bekas yang kecil diletakkan di dalam bekas yang besar dan ruang di antara bekas tersebut diisi dengan pasir. Bahan makanan yang ingin disimpan diletakkan di ruang bekas kecil. Meskipun peti sejuk ini tidak setanding dengan peti sejuk komersial, namun dengan kewujudan ciptaan ini, banyak perkara telah berubah di Nigeria. Petani tidak perlu lagi menjual hasil tanaman dengan cepat kerana dapat disimpan dengan kadar yang lebih lama. Bahkan, penyimpanan vaksin dan ubat turut dapat dijalankan dengan baik memandangkan kebanyakan tempat pedalaman di benua Afrika tidak mempunyai bekalan tenaga elektrik.\nIdea pot-in-pot ini kemudian dikembangkan lagi kepada bentuk yang lebih menarik dan moden oleh syarikat Evaptainers. Syarikat ini membuat inovasi sehingga bentuk peti sejuk ini lebih menarik dan mudah alih.\nBagi penduduk yang tidak mempunyai sambungan elektrik ke rumah, penggunaan lampu elektrik ialah perkara yang mustahil dan keperluan terhadap cahaya di tempat yang gelap atau pada waktu malam amatlah mendesak. Syarikat E-Dina dari Colombia telah mencipta lampu yang berteraskan air masin dan dinamakan sebagai Waterlight. Pada waktu kecemasan, air kencing boleh digunakan untuk menggantikan air masin.\nKonsep lampu ini berasaskan konsep elektrokimia, iaitu perubahan sifat kimia yang menghasilkan arus elektrik. Air masin atau air kencing akan bertindak sebagai katod dalam sistem elektrokimia yang melengkapkan litar untuk menghasilkan arus elektrik yang kemudiannya dapat menyalakan lampu. Dengan hanya 500 mililiter air masin, sistem ini dapat menghasilkan cahaya lampu selama 45 hari.\nWaterlight digunakan semasa proses pembelajaran untuk pelajar semasa di rumah ataupun para ibu yang ingin meneruskan aktiviti harian mereka pada waktu malam. Selain itu, Waterlight juga sesuai untuk aktiviti perkhemahan, memancing mahupun sebagai sumber bateri untuk peranti elektronik\nPada tahun 2002, \u00a0seorang mekanik dari Brazil bernama Alfredo Moser telah mencipta sebuah lampu yang unik disebabkan sering berlakunya ketiadaan elektrik di kawasan rumah beliau. Lampu yang terkenal dengan nama lampu Moser ini mempunyai kecerahan yang memuaskan, iaitu sekitar 40 watt hingga 60 watt. Lampu ini dihasilkan dengan hanya menggunakan botol lut sinar, air dan peluntur. Air diletakkan di dalam botol lut sinar, manakala peluntur diletakkan sedikit bagi mengelakkan pertumbuhan alga yang akan mengurangkan kadar kecerahan lampu ini.\nBotol ini kemudiannya diletakkan di tengah bumbung untuk menerima cahaya matahari. Sebagai hasilnya, botol ini akan kelihatan bercahaya dan cukup untuk menerangi ruang yang gelap. Konsep lampu Moser ini sangatlah mudah iaitu berasakan hukum pembiasan cahaya. Gambar di bawah menunjukkan Alfredo Moser bersama dengan lampu yang dipasangnya.\nIdea lampu Moser ini mencetuskan gerakan Liter of Light. Gerakan ini tersebar dengan meluas di pelosok dunia, termasuklah di Malaysia dengan memberikan perkhidmatan pemasangan lampu Moser di tempat yang terpencil. Organisasi ini memperbaik reka bentuk asal lampu Moser ini dengan meletakkan sistem solar berserta lampu kecil di dalam botol supaya memberikan cahaya pada waktu malam.\nSumber air yang bersih merupakan suatu keperluan pada zaman sekarang. Air yang kotor boleh menjadi punca kepada pelbagai jenis penyakit. Penapis air bukanlah suatu perkara yang murah, lebih-lebih lagi kepada orang yang berpendapatan rendah. Syarikat Vestergaard yang berpangkalan di Switzerland telah mencipta sebuah mesin penapis mudah alih yang dikenali sebagai LifeStraw. Mesin dengan berat sebanyak 46 gram ini mampu untuk menapis sehingga 4000 liter air, iaitu dalam jangkaan hingga tiga tahun penggunaan. Penapis ini juga mampu menapis bakteria, parasit dan mikroplastik hingga tahap 99 peratus. LifeStraw ini menggunakan konsep penapisan mikro tanpa sebarang bahan kimia. Ciptaan ini telah menolong hampir enam juta kanak-kanak untuk mendapatkan sumber air yang bersih.\nMemasak ialah aktiviti yang boleh dikatakan dilakukan pada setiap hari. Bayangkan jika haba yang terhasil daripada api dapur memasak dapat \u201cditarik\u201d dan disimpan ke dalam bateri. Itulah konsep yang diketengahkan oleh syarikat Point Source Power melalui ciptaan mereka, VOTO. Alat ini hanya mempunyai empat komponen penting untuk berfungsi, iaitu penutup, kad bahan api, pemegang VOTO dan kotak sel bahan api.\nSekiranya bateri telah dicas secara penuh, cahaya lampu pada VOTO ini dianggarkan mampu bertahan selama 30 jam. Syarikat ini menghasilkan beberapa varian lain untuk kegunaan yang berbeza-beza, namun masih menggunakan tenaga haba pada api dapur. Setakat kini, ciptaan ini setakat ini dipasarkan di Kenya sahaja.\n\u00a0\nSeringkali makanan yang telah dimasak perlu dipanaskan untuk mengekalkan rasa dan untuk mengelakkan makanan menjadi basi. Namun begitu, untuk memanaskan kembali lauk atau makanan yang telah dimasak secara umumnya memerlukan sumber elektrik atau bahan bakar tambahan. Sarah Collins, seorang aktivis telah mencipta sebuah beg yang sangat berguna yang dapat mengekang haba keluar daripada beg tersebut sehingga makanan di dalam beg tersebut kekal panas dalam jangka masa yang lebih lama. Yang lebih menarik, beg ini tidak memerlukan sebarang tenaga elektrik. Beg yang dinamakan sebagai Wonderbag ini dapat mengekalkan suhu masakan selama lapan jam. Konsep beg ini sangatlah mudah kerana hanya berdasarkan konsep penebatan haba.\nCiptaan ini sangatlah bermanfaat sehingga dikatakan dapat mengurangkan penggunaan bahan bakar sebanyak 70 peratus. Selain itu Wonderbag juga menjadikan alam sekitar lebih baik kerana mengurangkan pencemaran dan penggunaan air sekali gus mengurangkan kadar penebangan pokok untuk tujuan kayu bakar. Maka, tidak hairanlah jika ciptaan ini mendapat beberapa anugerah di peringkat antarabangsa kerana keberkesanannya pada tahap maksimum.\nKelahiran bayi pramatang memerlukan penjagaan yang rapi dan teliti, bahkan mereka akan diletakkan di dalam inkubator yang akan mengawal suhu dan mengelakkan jangkitan kuman kepada bayi. Untuk sesebuah keluarga yang berpendapatan rendah, hal ini boleh menjadi perkara yang membebankan dari segi kos.\nKisah seorang perempuan di India yang melahirkan bayi pramatang dan anaknya itu kemudiannya meninggal dunia kerana tidak mampu mendapatkan rawatan di hospital telah menjadi titik tolak kepada Jane Chen, pengasas syarikat Embrace untuk mencipta inkubator yang murah dan sesuai yang dinamakan The Embrace Warmer. Konsep pemindahan haba optimum yang digunakan dalam ciptaan ini adalah konsep yang sama seperti Wonderbag. Ciptaan ini menggunakan sejenis lilin istimewa yang diletakkan pada permukaan dalam inkubator tersebut sehingga menghasilkan keadaan yang sangat selesa untuk bayi.\nInkubator ini bukan sahaja mudah alih tetapi boleh digunakan berulang kali, mudah digunakan dan paling penting tidak memerlukan sebarang tenaga elektrik mahupun bateri. Ciptaan ini dikatakan telah berjaya mengurangkan risiko kematian bayi sebanyak 350 ribu bayi.\nKeperluan memakai alas kaki mungkin dipandang remeh di negara kita. Mungkin kita kurang sedar bahawa masih ramai yang tidak mampu membeli alas kaki sehinggakan mereka berkaki ayam dari hari ke hari. Potensi untuk terkena penyakit akibat jangkitan kuman atau bakteria daripada tanah sangatlah tinggi. Hampir 24 peratus daripada populasi dunia terjangkiti penyakit daripada tanah kerana berkaki ayam.\nKenton Lee, pengasas syarikat Because International telah menghasilkan kasut The Shoe That Grows. Kasut ini tahan lasak, tahan lama dan mampu untuk dilaraskan saiznya. Kenton Lee terpanggil untuk menghasilkan kasut ini apabila beliau melihat seorang kanak-kanak di Kenya memakai kasut yang sangat kecil jika dibandingkan dengan kakinya yang besar. Kasut ini mampu untuk dilaras pada lima tahap saiz yang berbeza dan dijangka dapat bertahan hingga lima tahun. Jadi, secara umumnya kanak-kanak akan menggunakan kasut yang sama untuk lima tahun dan sekali gus dapat menjimatkan kos pembelian kasut atau selipar yang baharu.\nSebenarnya, masih terdapat beberapa lagi ciptaan yang sangat bermanfaat dan berguna seperti yang berikut:\nMeskipun semua ciptaan ini tidaklah terkenal atau sering keluar di media sosial, namun setiap rekaan ini cukup terkenal di hati kebanyakan rakyat berpendapatan rendah. Hal ini disebabkan oleh ciptaan ini memberikan kesan dan manfaat yang besar kepada kehidupan mereka. Namun begitu, ciptaan yang canggih dan berteknologi tinggi masih diperlukan untuk membawa manusia ke arah yang lebih baik dan selesa." "Penderma Darah Terbanyak Diiktiraf The Malaysia Book of Records\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Liew Chin Yap diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records sebagai penderma darah aferesis terbanyak di Malaysia.\nMenurut kenyataan Pusat Darah Negara (PDN) di media sosialnya, sehingga 18 April 2022, Liew Chin Yap telah menderma darah sebanyak 632 kali.\nBeliau teraspirasi untuk terus menderma darah apabila mengetahui keperluan darah untuk pesakit hanya boleh diperoleh menerusi pendermaan darah.\nSetakat ini, Liew Chin Yap telah menderma darah secara konsisten selama tiga dekad, bermula pada tahun 1992 ketika menemani adiknya ke kempen derma darah.\nDalam kenyataan yang sama, PDN merakamkan penghargaan kepada beliau atas sikap filantropinya yang telah berjaya menyelamatkan banyak nyawa.\nPada masa yang sama, PDN turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu Liew Chin Yap untuk mendapatkan pengiktirafan ini.\nOrang ramai digalakkan untuk menderma darah di pusat derma darah yang berhampiran agar dapat membantu pesakit yang memerlukan. Butiran lanjut berkenaan pendermaan darah boleh didapati melalui media sosial rasmi PDN atau hubungi PDN di talian 03-26132688.\n(Sumber foto: Pusat Darah Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia)" "Jururawat Tulang Belakang Sistem Kesihatan Negara \u2013 Khairy Jamaluddin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Hari Jururawat Antarabangsa saban tahun disambut pada 12 Mei bersempena dengan hari kelahiran Florence Nightingale, seorang jururawat yang dianggap sebagai pengasas kejururawatan moden. Pada tahun ini, sambutannya bertemakan \u201cJururawat: Suara yang Memimpin \u2013 Laburlah dalam Sektor Kejururawatan dan Hormatilah Hak untuk Mencapai Kesihatan Sejagat\u201d.\nMenurut Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin, tema yang dipilih pada tahun ini menunjukkan keperluan dan kepentingan terhadap pembinaan tenaga kerja kejururawatan yang berdaya tahan dan berkelayakan tinggi dalam memberikan khidmat kejururawatan secara optimum serta memenuhi keperluan rakyat.\nTambah beliau, pandemik yang melanda negara telah membuka mata masyarakat seluruh dunia tentang peranan jururawat yang dilihat terlalu besar dalam menghadapi situasi begini. Jururawat merupakan tulang belakang kepada sistem kesihatan negara kerana jururawat merupakan populasi terbesar dalam sektor kesihatan.\nTahniah dan syabas kepada semua jururawat kerana mereka merupakan insan terpilih bagi melaksanakan tanggungjawab yang besar kepada negara dan terima kasih juga kepada semua jururawat yang sanggup mengetepikan kepentingan diri, memerah keringat dan mendedahkan diri kepada risiko jangkitan serta bencana demi kesihatan dan keselamatan rakyat.\nBertempat di Muzium Negara, Majlis Pelancaran Pameran Evolusi Baju Seragam Jururawat telah diadakan. Pameran tersebut merupakan kerjasama antara Jabatan Muzium Malaysia dengan Bahagian Kejururawatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pameran ini akan berlangsung selama sebulan bermula dari 12 Mei 2022 hingga 12 Jun 2022 bertempat di Dewan Tengah Muzium Negara bagi mengangkat wira dan wirawati barisan hadapan negara, khususnya semasa negara berhadapan dengan wabak COVID-19. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah KKM, Yang Berbahagia Tan Sri Dato\u2019 Seri Dr. Noor Hisham Abdullah.\nDalam ucapan perasmian, beliau berkata KKM berbesar hati atas hasrat dan usaha Jabatan Muzium Negara mengadakan Pameran Sisipan Baju Seragam Jururawat bersempena dengan Hari Jururawat Tahun 2022 dan dilihat sebagai tanda penghargaan kepada jururawat selaku petugas barisan hadapan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat di negara ini.\nBeliau turut menyatakan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Yang Berbahagia Datuk Kamarul Baharin A. Kasim serta semua anggota yang terlibat dalam menjayakan pameran ini.\nSetinggi-setinggi penghargaan juga diucapkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan agensinya, Jabatan Muzium Negara yang telah memainkan peranan signifikan dalam memastikan hebahan sejarah ini terlaksana dan diharapkan kerjasama padu antara KKM dengan Jabatan Muzium Malaysia dapat dipertingkat pada masa akan datang.\nTambah beliau lagi, banyak sejarah di KKM seperti koleksi pakaian dan peralatan yang boleh dipamerkan dan dikongsikan dengan masyarakat bagi melihat cara penyampaian perkhidmatan kesihatan pada masa lalu.\nTurut hadir dalam majlis perasmian hari ini ialah Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Yang Berbahagia Datuk Kamarul Baharin A. Kasim, Pengarah Kejururawatan KKM, Puan Devi a/p K. Saravana Muthu, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Muzium Malaysia, Encik Mohamad Shawali Haji Badi, Timbalan Ketua Pengarah (Permuziuman) Jabatan Muzium Malaysia, Encik Mohd Razaimi Hamat, dan Pengarah Muzium Negara, Encik Zamrul Amri Zakaria." "Manfaat dan Mudarat Kenderaan Mikromobiliti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSejak kebelakangan ini, kenderaan mikromobiliti semakin kerap digunakan di jalan raya. Kenderaan mikromobiliti merujuk penggunaan kenderaan mikro, iaitu kenderaan dengan jisim yang tidak melebihi daripada 350 kilogram dengan kelajuan reka bentuknya tidak melebihi 45 kilometer per jam dan dipandu oleh pengguna secara peribadi. Basikal, basikal elektrik, skuter elektrik, papan selaju elektrik dan basikal guna sama adalah antara kenderaan mikromobiliti yang sering digunakan.\nPerkataan mikromobiliti ini telah dipopularkan oleh Horace Dediu, seorang pelabur dari Amerika Syarikat pada sekitar tahun 2016. Menurut Dediu, istilah \u201cmikro\u201c ini merujuk kepada kenderaan yang digunakan dengan berat kurang daripada 500 kilogram untuk perjalanan jarak dekat yang menyeronokkan, murah dan mudah.\nKenderaan mikromobiliti secara umumnya boleh dikelaskan kepada empat jenis. Jenis A terdiri daripada kenderaan mikro yang berjisim kurang daripada 35 kilogram serta kelajuan reka bentuknya tidak melebihi 25 kilometer per jam. Kenderaan mikro jenis B pula adalah berjisim di antara 35 kilogram hingga 350 kilogram dengan kelajuan reka bentuk yang sama dengan jenis A.\nSementara itu, kenderaan mikro jenis C adalah berjisim kurang daripada 35 kilogram dan kelajuan reka bentuk antara 25 kilometer per jam hingga 45 kilometer per jam. Kenderaan mikro yang berjisim di antara 35 kilogram hingga 350 kilogram dengan kelajuan yang sama dengan jenis C pula dikenali sebagai kenderaan mikro jenis D.\nPenyelidikan Pasaran Bersekutu melaporkan bahawa pasaran global kenderaan mikromobiliti bernilai sekitar RM175.59 bilion pada tahun 2020 dan dijangka mencecah sekitar RM853.79 bilion menjelang tahun 2030.\nSecara umumnya, penggunaan kenderaan mikromobiliti ini mampu membantu dalam mengurangkan penggunaan kenderaan peribadi dan kesesakan di samping menyumbang kepada penggunaan tempat letak kereta yang lebih cekap dan ruang awam lain yang dikongsi bersama. Kenderaan mikromobiliti ialah cara yang jauh lebih cekap untuk mengembara dalam jarak dekat. Tambahan pula, kenderaan ini bersifat kos efektif dan jauh lebih murah untuk dihasilkan berbanding dengan penghasilan kereta dan bas.\nKenderaan mikromobiliti juga senyap apabila digunakan, memberikan pelepasan kesan rumah hijau yang rendah dan menjanjikan manfaat alam sekitar yang besar. Faedahnya cukup menggalakkan untuk perancang bandar mempertimbangkan kenderaan mikromobiliti secara serius dalam memerangi perubahan iklim dan menawarkan pengangkutan mampu milik.\nKenderaan mikromobiliti sebenarnya semakin digunakan secara meluas di seluruh dunia termasuklah di Eropah, Amerika Syarikat, Asia dan Amerika Latin. Malaysia juga tidak terkecuali. Walau bagaimanapun, di sebalik kelebihan yang ditawarkan, penggunaan kenderaan mikromobiliti di jalan raya adalah membahayakan, bukan sahaja kepada pengguna kenderaan tersebut, bahkan juga kepada pengguna jalan raya yang lain. Kejadian nahas basikal lajak yang telah mengorbankan lapan individu baru-baru ini menunjukkan bahawa penggunaan kenderaan mikromobiliti yang berkongsi rangkaian jalan dengan aliran trafik kenderaan bermotor lain boleh menimbulkan risiko untuk berlakunya tragedi yang sama pada masa akan datang.\nMenyedari akan bahaya yang bakal berlaku, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah mengambil tindakan tegas dengan melarang penggunaan kenderaan mikromobiliti tertentu di atas jalan menerusi pewartaan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021 (\u201cKaedah\u201d) yang berkuatkuasa mulai 17 Disember 2021. Jenis kenderaan mikromobiliti tertentu yang dilarang penggunaannya adalah terdiri daripada moped, peranti mobiliti persendirian termasuklah skuter berkuasa elektrik, kuasa enjin pembakaran dalam ataupun kuasa manusia dan bantuan mobiliti persendirian.\nWalaupun tidak dilarang, penggunaan basikal hendaklah mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 33) serta di bawah Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959. Garis panduan penggunaan basikal yang selamat juga telah dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan boleh dimuat turun melalui laman sesawang MOT dan MIROS.\nMenurut Forum Pengangkutan Antarabangsa, terdapat beberapa langkah yang telah dicadangkan untuk meningkatkan tahap keselamatan penggunaan kenderaan mikromobiliti. Antara lainnya ialah keperluan untuk menyediakan laluan khusus untuk kenderaan mikromobiliti bagi menjamin keselamatan pejalan kaki. Ironinya, bilangan orang yang berjalan akan berkurangan jika mereka berasa tidak selamat apabila berjalan di laluan yang disediakan.\nPenggunaan kenderaan mikromobiliti di lorong pejalan kaki hendaklah diharamkan atau tertakluk kepada had laju yang rendah dan dikuatkuasakan. Adalah lebih baik jika diwujudkan laluan khusus untuk kenderaan jenis ini. Had laju untuk semua kenderaan bermotor hendaklah tidak melebihi 30 kilometer per jam jika mereka berkongsi laluan yang sama dengan pengguna kenderaan mikromobiliti dan pejalan kaki.\nStatistik menunjukkan bahawa kira-kira 80 peratus kemalangan kenderaan bermotor mengakibatkan kematian penunggang basikal atau skuter elektrik. Pihak berkuasa seharusnya meningkatkan usaha untuk menangani tingkah laku pemandu yang berisiko, termasuklah pemanduan melebihi had laju yang dibenarkan, pemanduan terganggu dan pemanduan di bawah pengaruh alkohol. Pemandu harus memandu dengan kelajuan yang selamat. Reka bentuk kenderaan bermotor yang selamat haruslah merangkumi kedua-dua penyelesaian keselamatan aktif dan pasif. Antara ciri keselamatan aktif yang berkaitan termasuklah bantuan kelajuan pintar dan brek kecemasan automatik (AEB). AEB seharusnya mampu mengenal pasti semua jenis kenderaan mikromobiliti.\nJika dikawal dengan baik, kenderaan mikromobiliti boleh menyokong matlamat dan dasar yang lebih luas termasuklah kemampanan, kecekapan, keterangkuman dan kesihatan awam. Untuk menggalakkannya, peraturan basikal yang agak ringan harus digunakan untuk semua bentuk kenderaan mikromobiliti berkelajuan dan berjisim rendah.\nKenderaan mikromobiliti dengan kelajuan maksimum 45 kilometer per jam harus dikawal selia sebagai moped. Penggunaan basikal elektrik bantuan pedal berkelajuan tinggi harus berdasarkan potensinya untuk menyumbang kepada matlamat kesihatan awam dengan meningkatkan aktiviti fizikal. Basikal dengan bantuan pendikit tidak sepatutnya berada di atas jalan yang sama. Jika kenderaan mikromobiliti yang lebih laju dibenarkan berkongsi kemudahan bersama basikal biasa, penunggang kenderaan mikromobiliti harus menggunakan kelajuan yang lebih rendah agar keselamatan penunggang basikal kekal terjamin.\nTidak banyak maklumat yang diketahui tentang prestasi keselamatan jenis dan model kenderaan mikromobiliti yang berbeza-beza, faktor kemalangan, dan kaedah penyelesaian yang paling berkesan. Penyelidikan tentang keselamatan kenderaan mikromobiliti memerlukan data kemalangan dan data perjalanan yang tepat melalui operator, tinjauan perjalanan dan pemerhatian di jalanan yang dikumpulkan oleh pihak berkenaan. Pengumpulan data ini harus menjadi keutamaan bagi agensi keselamatan jalan raya untuk memastikan perancangan keselamatan melibatkan kenderaan mikromobiliti dapat dijalankan dengan lebih efisien lagi.\nPihak berkuasa juga seharusnya mengutamakan pencegahan kemalangan proaktif di rangkaian jalan. Banyak kenderaan mikromobiliti gunasama dilengkapi dengan penderia gerakan dan penentududukan langsung melalui sistem sistem kedudukan sejagat (GPS). Sistem ini boleh menghasilkan data tentang kerosakan jalan dan pemetaan tempat yang berkemungkinan berlakunya kemalangan. Pihak berkuasa dan operator harus bekerjasama untuk mengeksploitasi sumber maklumat ini. Pihak kerajaan juga harus memantau kerosakan pada rangkaian jalan raya dan menambah baik penyelenggaraan pencegahan yang menimbulkan risiko kepada pengguna kenderaan mikromobiliti.\nPihak berkuasa harus memastikan pemandu kenderaan seperti kereta, bas dan trak dilatih untuk mengelakkan kemalangan dengan penunggang kenderaan mikromobiliti. Latihan yang berkaitan harus diwajibkan untuk mendapatkan lesen memandu. Selain itu, latihan berbasikal harus menjadi sebahagian daripada kurikulum sekolah supaya kanak-kanak memperoleh kemahiran untuk mengemudi kenderaan mikromobiliti dengan selamat. Semua orang dewasa juga harus mempunyai akses kepada latihan keselamatan mikromobiliti. Program latihan ini hendaklah dinilai secara berkala untuk menguji keberkesanannya.\nLazimnya, kemalangan bermotor adalah disebabkan oleh pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan melebihi had kelajuan yang ditetapkan. Hal ini juga tidak terkecuali kepada pemandu kenderaan mikromobiliti walaupun kelajuannya adalah lebih rendah. Bagi memastikan pengendali kenderaan mikromobiliti guna sama mematuhi had laju yang dibenarkan, pihak operator boleh menyemak mekanisme harga untuk meminimumkan risiko. Kaedah sewaan mengikut minit boleh menjadi insentif sama ada untuk mempercepat atau mengabaikan peraturan lalu lintas. Oleh itu, syarikat seharusnya mengurangkan pengecasan berasaskan minit dan mengimbanginya dengan kaedah alternatif. Hal ini termasuklah caj perjalanan amaun tetap, caj berdasarkan jarak ataupun yuran keahlian.\nPengilang kenderaan mikromobiliti juga berusaha untuk meningkatkan kestabilan dan cengkaman kenderaan terhadap permukaan jalan. Antara penyelesaian yang dicadangkan adalah dengan penggunaan tayar pneumatik, saiz roda dan geometri rangka yang lebih besar. Namun begitu, masih banyak perkara yang masih dalam kajian untuk menambah baik keselamatan kenderaan mikromobiliti ini. Pihak penguasa patut mempertimbang penggunaan lampu penunjuk di kenderaan mikromobiliti berkuasa yang dikawal oleh suis di bar hendal. Untuk kenderaan mikromobiliti dikongsi, kabel brek harus dilindungi daripada kerosakan dan vandalisme.\nBanyak perkhidmatan kenderaan mikromobiliti guna sama, terutamanya di luar negara bergantung pada van untuk mengecas semula skuter atau basikal elektrik. Pihak operator harus meminimumkan jarak kilometer kenderaan yang dipandu oleh van sokongan ini untuk mengurangkan risiko kemalangan. Menggunakan bateri yang boleh ditanggalkan atau berkapasiti lebih tinggi dan dok pemasangan yang strategik menawarkan penyelesaian untuk mengurangkan keperluan van sokongan ini. Bandar juga boleh memperuntukkan lokasi khas van sokongan untuk pengecasan bagi memastikan keselamatan pengguna kenderaan mikromobiliti.\nNamun begitu, tidaklah dinafikan bahawa masih terdapat banyak penelitian yang perlu dikaji terhadap penggunaan kenderaan mikromobiliti ini. Dianggarkan sekitar 68 peratus daripada populasi global akan tinggal di bandar menjelang tahun 2050. Sememangnya, ruang di bandar akan menjadi lebih sesak dengan keperluan untuk pengangkutan jarak jauh yang tidak rumit. Kenderaan mikromobiliti boleh membantu mengurangkan tekanan pada rangkaian pengangkutan sedia ada, menawarkan cara yang berpatutan dan berdaya maju untuk bergerak. Kesedaran tentang perubahan iklim dan kelestarian alam sekitar akan menjadikan kenderaan mikromobiliti sebagai pilihan utama pada masa hadapan.\n\u00a0\nProfesor Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff merupakan pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia." "Kepelbagaian Potensi Cendawan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCendawan bukanlah suatu yang asing dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Fakta mengenai cendawan pada dasarnya tidak dapat dibidas atas keunikannya. Hal ini dikatakan demikian kerana cendawan merupakan organisma yang tidak tergolong dalam alam haiwan atau alam tumbuhan. Cendawan ialah sejenis kulat yang tumbuh di atas tanah atau batang kayu atau media penanamannya (jerami, habuk kayu, kapas, dan sebagainya) sebagai sumber nutriennya. Antara jenis cendawan ialah enoki (Flammulina velutipes), cendawan tiram (Pleurotus ostreatus), cendawan butang (Agaricus bisporus), dan sebagainya.\nCendawan berada dalam kumpulannya sendiri yang dikenali sebagai alam kulat yang tidak mampu menghasilkan makanan sendiri disebabkan oleh kekurangan klorofil. Namun begitu, cirinya lebih mirip dengan haiwan berbanding dengan tumbuhan. Kajian saintifik masih giat dijalankan untuk memahami dengan lebih terperinci potensi cendawan dan aplikasinya dalam kehidupan seharian.\nTerdapat lebih daripada 4000 spesies kulat di Malaysia dan 160 spesies kulat telah direkodkan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia. Kelembapan yang tinggi dan cahaya matahari yang kurang menembusi bahagian bawah hutan lembap amat sesuai untuk cendawan membiak dan hidup. Walaupun sesetengah cendawan boleh dimakan, terdapat juga cendawan yang beracun dan boleh membawa maut jika dimakan oleh haiwan atau manusia.\nSebagai contohnya, spesies Amanita bisporigera merupakan sejenis cendawan yang beracun. Cendawan ini mempunyai payung putih halus yang dapat mencapai ketinggian\u00a0 10 sentimeter hingga 14 sentimeter. Satu daripada peranan ekologi signifikan yang dimainkan oleh cendawan adalah sebagai pengurai.\nSudah semestinya ramai antara kita yang pernah makan kulat atau lebih dikenali sebagai cendawan.\u00a0Di Malaysia, populariti cendawan semakin terserlah kerana permintaannya yang tinggi dalam dunia kulinari. Cendawan boleh dimasak dalam pelbagai jenis masakan mengikut cita rasa masing-masing selain dijadikan sebagai makanan sampingan. Cendawan boleh dijadikan sebagai ulam dalam hidangan seharian atau boleh digoreng untuk kelainan citarasa.\nSelain menjadi sumber makanan, cendawan juga dipercayai boleh membantu meningkatkan aktiviti sel di dalam badan yang berfungsi untuk ketahanan tubuh terhadap pencerobohan asing seperti virus atau bakteria. Cendawan juga digunakan untuk menghasilkan vaksin. Sebanyak 15 peratus vaksin yang dihasilkan di dunia menggunakan yis yang melalui proses kejuruteraan genetik.\nTambahan pula, cendawan ialah sumber utama selenium nutrien antioksidan. Antioksidan seperti selenium dapat melindungi sel badan daripada kerosakan yang mungkin boleh membawa kepada penyakit kronik dan membantu menguatkan sistem imunisasi. Cendawan juga terbukti kaya dengan polisakarida. Secara khususnya, cendawan mengandungi polisakarida yang dikenali sebagai beta-glukan.\nSatu kajian menunjukkan bahawa beta-glukan tidak terurai dengan baik di dalam badan. Karbohidrat yang tidak boleh dihadam ini bertindak sebagai prebiotik dalam saluran penghadaman. Pada masa yang sama, cendawan juga merupakan makanan antiradang dan pemakanan cendawan mengandungi sebatian beta-glukan yang tinggi. Antioksidan kuat dikenali sebagai ergothioneine yang membantu mengurangkan keradangan seluruh badan. Penggunaan cendawan dalam perubatan tradisional di negara Asia bermula sejak beribu-ribu tahun dahulu dan ada yang masih diamalkan.\nCendawan merupakan sejenis hidupan yang tumbuh atau boleh diusahakan daripada kumpulan fungus. Maka, tidak hairanlah apabila pembiakan cendawan secara komersial telah diusahakan oleh banyak pengusaha di Malaysia.\u00a0Penganalisis meramalkan pasaran cendawan perubatan global akan berkembang daripada USD 50.4 bilion pada tahun 2019 kepada USD 84.8 bilion menjelang tahun 2026.\nSelain aspek kesihatan manusia, cendawan juga boleh membantu memulihkan kesihatan planet melalui aplikasinya sebagai bahan binaan yang mampan, pengganti daging rendah karbon, menguraikan sisa plastik, dan sebagainya.\nCendawan juga adalah pengganti daging yang paling popular dalam kalangan individu yang mengamalkan diet vegetarian walaupun tidak mempunyai khasiat protein seperti daging. Walau bagaimanapun, cendawan merupakan sumber yang kaya dengan vitamin dan mineral seperti selenium, zink, vitamin B1, vitamin B2, vitamin B5, vitamin B6, dan vitamin B12. Lebih-lebih lagi, cendawan juga penuh dengan bahan antioksidan dan tidak mengandungi lemak serta karbohidrat. Cendawan turut digunakan sebagai penambah perisa dalam masakan.\nProduk yang diperbuat daripada cendawan boleh digunakan sebagai pengganti bekas makanan pakai buang, kulit dan bahan binaan. Bukan seperti plastik, pembungkusan hasil daripada cendawan terdiri daripada 100 peratus bahan yang boleh terbiodegradasi dan boleh diperbaharui serta dikitar semula secara langsung dan semula jadi. Hal ini adalah untuk memastikan pengurangan sisa plastik yang kian menjadi masalah dan isu yang belum menemui jalan penyelesaian. Sebagai contohnya, syarikat gergasi hiasan rumah seperti IKEA telah meneruskan komitmennya terhadap inovasi mampan dengan menggunakan pembungkusan berasaskan cendawan yang menghapuskan keperluan untuk penggunaan bahan seperti plastik.\nPada masa yang sama juga, cendawan banyak membantu arkitek dan jurutera dalam menyelesaikan krisis terbesar di dunia, iaitu terhadap perubahan iklim. Cendawan biasanya tahan lama, boleh terbiodegradasi dan terbukti mempunyai potensi untuk dijadikan sebagai alternatif yang baik berbanding dengan penggunaan bahan binaan konvensional. Bahan binaan yang diperbuat daripada cendawan masih pada peringkat awal penyelidikan dan pembangunan. Walau bagaimanapun, cendawan menunjukkan potensi sebagai bahan penebat dan pengganti blok konkrit.\nSebagai kesimpulannya, potensi cendawan amat meluas dan kajian perlu dilakukan untuk memperluas penggunaan cendawan. Cendawan telah digunakan untuk menghasilkan ubat-ubatan lain yang penting secara global. Cendawan juga kekal sebagai sumber yang belum diterokai sepenuhnya dengan potensi perindustrian yang besar. Pelbagai kajian potensi cendawan perlu dipergiat agar boleh diguna pakai dalam sektor perindustrian yang sesuai dan boleh menyumbang kepada ekonomi negara.\nJadual 1 Jenis cendawan yang ditanam secara komersial di Malaysia.\n(Sumber: http://portal.myagro.moa.gov.my/ms/doa/iplt/Pages/Mushroom.aspx)" "Tarikh Akhir Pemberian Vaksin Kanak-kanak Dilanjutkan Hingga 31 Mei\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Tarikh akhir pemberian vaksin dos pertama COVID-19 untuk kanak-kanak yang berusia lima tahun hingga bawah 12 tahun melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) dilanjutkan hingga 31 Mei ini.\nTimbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam kenyataan medianya berkata, Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (CITF-C) pada 10 Mei telah menetapkan pelanjutan tarikh akhir ini selepas mengambil kira sambutan Hari Raya Aidilfitri dan cuti kelepasan am pada tarikh akhir pemberian vaksin serta penutupan pusat pemberian vaksin (PPV).\nTarikh akhir pendaftaran dan tempahan janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera, iaitu pada 8 Mei 2022 dikekalkan.\nMenurutnya, ibu bapa yang mendaftar dan membuat janji temu sebelum atau pada 8 Mei 2022 dan memilih tarikh vaksinasi sebelum atau pada 31 Mei 2022, mereka boleh meneruskan janji temu yang dipilih.\n\u201cBagi ibu bapa yang mendaftar dan membuat janji temu sebelum atau pada 8 Mei 2022 tetapi memilih tarikh vaksinasi selepas 31 Mei 2022, janji temu dalam aplikasi MySejahtera akan terbatal secara automatik,\u201d katanya lagi.\nBeliau menjelaskan bahawa ibu bapa boleh masih membawa anak mendapatkan vaksinasi COVID-19 secara jumpa terus di klinik kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia.\nSelepas 31 Mei 2022, kanak-kanak yang berusia lima tahun hingga bawah 12 tahun tidak lagi ditawarkan vaksin COVID-19 secara percuma di bawah PICKids. Mereka perlu mendapatkan vaksin COVID-19 yang ditawarkan secara berbayar di pasaran swasta.\nDalam kenyataan yang sama, beliau memaklumkan bahawa ibu bapa kepada kanak-kanak yang baru mencapai usia lima tahun pada atau selepas 31 Mei 2022, boleh membuat pendaftaran dan tempahan janji temu dos pertama vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera hingga 15 Januari 2023 di bawah program PICKids.\nPICKids untuk golongan kanak-kanak berusia lima tahun hingga bawah 12 tahun telah bermula pada 3 Februari 2022 dengan tujuan melindungi kanak-kanak daripada jangkitan teruk COVID-19 di samping mengurangkan risiko jangkitan di sekolah." "Pupuk Rasa Cinta akan Bahasa Kebangsaan dalam Kalangan Warga IPT\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Kelestarian bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan banyak bergantung kepada generasi muda negara pada masa ini. Sehubungan dengan itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan institusi pengajian tinggi (IPT) mempunyai peranan yang cukup besar dalam memupuk rasa cinta dan bangga akan bahasa kebangsaan kepada warga IPT.\nNamun begitu, pelbagai dilema dan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh warga IPT dalam memupuk rasa cinta akan bahasa kebangsaan yang seterusnya memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan di IPT.\u00a0Satu daripadanya ialah\u00a0para pelajar\u00a0itu\u00a0sendiri tidak menguasai bahasa Melayu. Antara sebab\u00a0berlakunya perkara ini termasuklah\u00a0isu penggunaan bahasa pengantar di negara kini.\nSekiranya pembuat dasar negara tidak mengangkat dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa rasmi terutamanya di IPT,\u00a0terdapat kesukaran untuk mewujudkan rasa cinta dan bangga akan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda masa kini.\nDalam media sosial, seringkali berlaku percampuran kod antara bahasa Melayu dengan bahasa asing serta bahasa slanga dan singkatan turut digunakan secara sewenang-wenangnya. Menurut Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Norazlina Haji Mohd Kiram, situasi ini berlaku kerana tiadanya hukuman ataupun sekatan bagi\u00a0perbuatan tersebut.\nSudah sampainya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diberi kuasa melalui akta untuk mengenakan hukuman yang berkaitan dengan kesalahan bahasa yang dilakukan oleh masyarakat. Tanpa hukuman, masyarakat melihat penggunaan bahasa tersebut tidak salah sehinggakan bahasa slanga dan bahasa singkatan tersebut menjadi budaya dalam masyarakat negara kita terutamanya dalam kalangan generasi muda.\nMenurut beliau, dalam konteks pendidikan\u00a0pula, kerajaan dan pihak pentadbir IPT perlu yakin dan percaya\u00a0akan kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Sebagai\u00a0contoh,\u00a0penggunaan bahasa Inggeris dalam sesi temu duga yang dijalankan oleh pihak IPT juga\u00a0telah melanggar konteks bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.\nSelain itu, Malaysia juga perlu menitikberatkan penyediaan Kursus Bahasa Melayu kepada pelajar asing yang menyambung pelajaran mereka di IPT di Malaysia agar mereka mampu menguasai bahasa Melayu.\nTambah beliau, setiap IPT di negara ini\u00a0selalunya akan turut meraikan\u00a0program\u00a0Dekad Bahasa Kebangsaan yang merupakan program anjuran DBP yang bertujuan untuk memperkasakan bahasa Melayu di negara ini.\u00a0Namun begitu, pengisian program ini perlu dilakukan secara menyeluruh di seluruh IPT dan bukan\u00a0sekadar melibatkan fakulti yang berkaitan dengan bahasa semata-semata. Penglibatan yang lebih menyeluruh dalam DBK mampu menjadikan program ini lebih berkembang pada masa hadapan.\nSelain tu, kebanyakan IPT di negara ini juga dilihat meletakkan petunjuk prestasi utama kepada para pensyarah yang menetapkan agar mereka menerbitkan artikel dalam jurnal yang bertaraf Scopus, yang menuntut mereka menulis dalam bahasa Inggeris. Hal ini dilihat bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang juga dilihat menyekat peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu daripada berkembang.\nUjar beliau, Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu juga mungkin perlu diubah formatnya sedikit seperti memberikan tajuk yang mudah secara spontan kepada para peserta untuk melihat sejauh mana mereka benar-benar menghayati dan mempunyai ilmu berkaitan dengan bahasa Melayu berbanding dengan sekadar menghafal teks semata-mata.\nOleh itu, setiap warganegara Malaysia tanpa mengira kaum dan etnik perlu menguasai bahasa kebangsaan dan rasa kagum kepada individu bukan Melayu yang boleh berbahasa Melayu\u00a0dilihat kurang wajar. Hal ini demikian kerana sebagai seorang warganegara,\u00a0sudah tentulah perlu menguasai bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan Malaysia. Para pentadbir dan peneraju IPT pula diharapkan mampu memperkasakan penggunaan bahasa Melayu di IPT dan tidak membiarkan bahasa ini merempat di negaranya sendiri." "Sistem Penyampaian Kesihatan Terjejas Tanpa Jururawat \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nUlu Pauh \u2013 \u201cJutaan terima kasih diucapkan kepada para jururawat atas segala jasa yang ditaburkan. Teruskan usaha untuk kekal berkhidmat dengan penuh komited dan berdedikasi walau dalam apa-apa jua rintangan yang mendatang. Mereka merupakan wira yang tidak didendang. Tanpa jururawat, sistem penyampaian kesihatan akan lumpuh dan terjejas,\u201d titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM11 200 kepada 28 orang asnaf terpilih dalam program Hijrah Minda MAIPs, semalam.\nSambutan Hari Jururawat Sedunia pada tahun ini yang bertemakan \u201cNurses: A Voice to Lead \u2013 Invest in Nursing and Respects Rights to Secure Global Health\u201d memfokuskan keperluan untuk melindungi, menyokong dan membuat pelaburan dalam profesion kejururawatan bagi memantapkan sistem kesihatan di seluruh dunia.\nSementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Sirajuddin Hashim memaklumkan bahawa kini profesion kejururawatan telah berkembang seiring dengan masa. Pada era globalisasi ini, transformasi kesihatan menjadi cabaran dengan peningkatan umur yang panjang dalam kalangan pesakit.\nTambahnya lagi, para jururawat perlu berilmu dan sentiasa berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan seiring dengan revolusi teknologi perubatan dan pembaharuan penjagaan kesihatan mengikut perubahan masa.\nPara jururawat tidak terkecuali dalam usaha menangani, membendung dan mengawal penularan penyakit COVID-19 selama dua tahun kebelakangan ini. Hal ini kerana mereka merupakan tulang belakang institusi kesihatan dalam penyampaian perkhidmatan dan penjagaan pesakit secara berterusan. Peranan dan pengorbanan mereka sangat besar kepada masyarakat. Mereka telah menjalankan tanggungjawab dengan penuh komited dan dedikasi dalam memastikan perkhidmatan kesihatan berkualiti dapat disampaikan dengan lancar.\nPada tanggal 12 Mei setiap tahun sejak tahun 1974, seluruh dunia akan menyambut Hari Jururawat Sedunia. Sambutan ini adalah bersempena dengan ulang tahun kelahiran Florence Nightingale, pengasas kejururawatan moden.\nSambutan ini diadakan untuk memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada para jururawat yang merupakan sumber yang tidak ternilai serta sentiasa memastikan perkhidmatan yang berkualiti dapat disampaikan kepada masyarakat." "Waspada Jangkitan HFMD\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPenyakit Tangan, Kaki dan Mulut\u00a0(HFMD) merupakan penyakit yang tidak berbahaya. Walau bagaimanapun, penyakit ini mempunyai kadar keberjangkitan yang sangat tinggi. Penyakit HFMD ini biasanya berlaku kepada kanak-kanak yang berumur kurang daripada 10 tahun.\nPunca penyakit ini disebabkan oleh virus daripada kumpulan enterovirus yang tergolong dalam keluarga Picornavirus. Terdapat sebanyak 67 serotip manusia yang terdiri daripada serotip virus Coxsackie, poliovirus, ekovirus, dan enterovirus. Daripada kumpulan enterovirus ini, kebanyakan jangkitan adalah disebabkan oleh virus Coxsackie A16 dan enterovirus 71.\nBerdasarkan data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dari bulan Januari 2022 hingga 13 Mei 2022, sebanyak 28 957 kes penyakit HFMD telah dilaporkan berbanding dengan hanya 4239 kes pada tahun 2021. Negeri Sembilan melaporkan kes HFMD tertinggi, iaitu sebanyak 1446 kes dan diikuti dengan Pahang sebanyak 1288 kes. Kebanyakan kes berpunca daripada jangkitan dari fasiliti pusat penjagaan kanak-kanak seperti taska dan rumah pengasuh.\nTiada rawatan yang spesifik untuk merawat penyakit HFMD. Walau bagaimanapun, dengan mencuci tangan secara kerap dan menjauhi kanak-kanak daripada mereka yang dijangkiti penyakit ini dapat mengurangkan risiko anak anda mendapat penyakit HFMD. Pada kebiasaannya, kanak-kanak yang menghidap penyakit HFMD mempunyai gejala yang ringan berserta simptom seperti demam, sakit tekak, berasa tidak sihat dan letih, ruam yang menyakitkan di bahagian lidah, gusi dan di dalam mulut, ruam melepuh yang tidak gatal di bahagian tangan, kaki dan punggung serta hilang selera makan.\nBiasanya, tempoh masa infeksi dari permulaan jangkitan penyakit HFMD hingga kanak-kanak mendapat simptom adalah dari tiga hari hingga enam hari. Demam merupakan simptom awal penyakit HFMD dan diikuti dengan sakit tekak dan berasa tidak sihat serta hilang selera makan. Selepas dua hari atau tiga hari mengalami demam, ruam yang menyakitkan akan mula timbul di bahagian hadapan mulut dan di bahagian tekak. Ruam melepuh di bahagian tangan, kaki dan ada masanya di bahagian punggung kanak-kanak pula akan mula muncul selepas satu hari atau dua hari.\nLazimnya, penyakit HFMD hanya berlarutan untuk beberapa hari. Namun begitu, jika anak-anak anda tidak mempunyai selera makan disebabkan oleh ruam yang sakit di bahagian tekak atau keadaan anak anda semakin lemah atau teruk, mereka perlu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut bagi memastikan kanak-kanak tersebut mempunyai kadar hidrasi dan garam dalam darah yang mencukupi.\nSementara itu, penyakit HFMD yang disebabkan oleh jangkitan daripada virus Coxsackie A16 termasuk dalam kumpulan virus yang dinamakan sebagai non-polio enterovirus. Biasanya penyakit ini tersebar melalui kemasukan virus Coxsackie A16 ke dalam mulut dan tersebar kepada kanak-kanak lain melalui cecair hidung (hingus) atau tekak, air liur, cecair daripada ruam melepuh, najis, dan hembusan titisan pernafasan semasa batuk atau bersin.\nSelain itu, penyakit HFMD kebanyakannya berlaku kepada kanak-kanak di fasiliti pusat penjagaan kanak-kanak seperti di rumah pengasuh atau taska kerana kekerapan penukaran lampin pakai buang, penggunaan tandas yang lebih kerap oleh kanak-kanak ini di fasiliti tersebut dan kanak-kanak juga gemar untuk meletakkan tangan mereka ke dalam mulut mereka. Oleh sebab itu, penularan wabak penyakit ini lebih mudah berlaku di pusat penjagaan kanak-kanak.\nWalaupun kanak-kanak yang menghidap penyakit HFMD mempunyai kadar keberjangkitan yang tinggi pada minggu pertama jangkitan berlaku, virus masih boleh berada di dalam badan kanak-kanak selama berminggu-minggu selepas simptom tersebut telah reda. Hal ini bermakna pesakit tersebut masih boleh menjangkiti kanak-kanak lain walaupun mereka sudah tiada simptom penyakit HFMD. Selepas dijangkiti penyakit ini, kanak-kanak akan mendapat imuniti daripada penghasilan antibodi oleh sistem imuniti badan. Walau bagaimanapun, orang dewasa masih boleh mendapat jangkitan penyakit HFMD walaupun pernah mendapat penyakit ini semasa usia kanak-kanak.\nTerdapat beberapa komplikasi penyakit HFMD. Antara komplikasi yang paling kerap berlaku ialah dehidrasi, iaitu kekurangan air di dalam badan. Selain itu, ruam di bahagian mulut dan tekak yang menyakitkan membuatkan kanak-kanak hilang selera makan kerana kesakitan semasa menelan makanan atau minuman. Sesetengah kanak-kanak perlu dimasukkan ke dalam wad bagi mendapatkan rawatan hidrasi air melalui intravena.\nWalaupun kebanyakan simptom penyakit ini adalah sederhana, terdapat juga beberapa pesakit yang mendapat komplikasi yang serius seperti meningitis (jangkitan virus pada selaput otak dan cecair otak yang berada di kawasan otak dan saraf tunjang) dan ensefalitis (keradangan otak). Kedua-dua komplikasi ini jarang-jarang berlaku dan boleh membawa kepada kematian.\nSeterusnya, terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko kanak-kanak mendapat penyakit HFMD. Antaranya ialah mencuci tangan dengan kerap, terutamanya selepas menggunakan tandas, menukar lampin bayi, sebelum menyediakan makanan, dan sebelum makan. Jika tandas tidak mempunyai sabun, gunakan tisu basah atau gel alkohol yang mempunyai kesan antibakteria.\nLangkah lain yang boleh dilakukan adalah dengan memastikan tempat yang mempunyai risiko jangkitan kuman ini seperti tandas dan tempat penukaran lampin bayi sentiasa dibersihkan dengan kerap menggunakan cecair pembasmi kuman. Pusat penjagaan kanak-kanak seharusnya mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi memastikan premis sentiasa bersih dan dapat mengurangkan risiko transmisi penyakit HFMD. Mereka seharusnya sentiasa membersihkan semua ruangan utama di premis tersebut, termasuklah permainan kanak-kanak kerana virus ini boleh melekat pada permukaan permainan kanak-kanak selama beberapa hari.\nDi samping itu, kanak-kanak perlu diajar untuk menjaga kebersihan diri dan memastikan diri mereka sentiasa bersih. Kanak-kanak juga perlu diingatkan agar tidak meletakkan tangan, jari atau objek seperti alat mainan ke dalam mulut. Perkara yang paling penting ialah kanak-kanak yang mendapat penyakit HFMD ini perlu diasingkan (kuarantin) daripada kanak-kanak lain kerana kadar keberjangkitan mereka adalah sangat tinggi. Bagi memudahkan ibu bapa untuk menjaga anak mereka di rumah, kerajaan Malaysia menyediakan kemudahan cuti menjaga anak yang dikuarantin selama lima hari.\nWalaupun penyakit HFMD tidak mempunyai rawatan yang spesifik, beberapa ubat akan diberikan bagi mengurangkan simptom penyakit ini seperti ubat demam dan ubat tahan sakit. Jika rawatan tersebut tidak memberikan kesan dan keadaan pesakit semakin lemah, ibu bapa perlu membawa anak mereka berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan pemeriksaan yang selanjutnya." "Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Negeri Perlu untuk Pelestarian Alam Sekitar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Mesyuarat Menteri-menteri Alam Sekitar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab Mengenai Alam Sekitar (MEXCOE) bersetuju bahawa kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri diperlukan bagi memastikan aktiviti pembangunan dapat diseimbangkan dengan keperluan pelestarian alam sekitar.\nMEXCOE Bilangan 1 Tahun 2022 yang dipengerusikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Yang Berhormat Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man pada pagi ini bersepakat bahawa kerjasama ini diperlukan bagi memastikan agenda kelestarian negara dapat dicapai.\nMenurut kenyataan media Menteri Alam Sekitar dan Air, mesyuarat ini turut membincangkan cadangan pemerkasaan MEXCOE yang melibatkan penyusunan semula keahlian mesyuarat serta penambahan ahli mesyuarat, terutamanya yang melibatkan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.\nHal ini adalah penting untuk meningkatkan fokus MEXCOE dalam menyelaras pelaksanaan dasar, program dan aktiviti serta memperkukuhkan kerjasama di antara kerajaan persekutuan dan negeri dalam pengurusan dan tadbir urus alam sekitar.\nDalam kenyataan media yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa Sambutan Hari Alam Sekitar Negara yang dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan diadakan pada 21 Oktober 2022 di negeri Pahang.\nDalam mesyuarat yang sama juga, JAS turut berkongsi kepada ahli mesyuarat mengenai program Rakan Alam Sekitar (RAS) yang telah diperkasakan, iaitu RAS 2.0 dengan pewujudan lima kluster utama, iaitu Kluster RAS Agensi, Kluster RAS Kampus, Kluster RAS Sekolah, Kluster RAS Industri dan Kluster RAS Komuniti yang turut melibatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Pengakap dan Rukun Tetangga.\nSelain itu, menurut YB Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, kertas makluman mengenai status pelaksanaan caj pencemaran plastik oleh kerajaan negeri turut dibentangkan dalam mesyuarat pada kali ini.\nKementerian Alam Sekitar dan Air telah mendapat mandat daripada Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan ke-76 untuk mengenakan caj pencemaran minimum sebanyak RM0.20 bagi setiap helaian beg plastik yang dilaksanakan melalui pihak berkuasa tempatan.\nSehingga bulan Disember 2021, sebanyak tiga negeri, iaitu Pulau Pinang, Selangor, dan Johor telah melaksanakan inisiatif ini. Kutipan caj pencemaran ini dibelanjakan untuk pelestarian alam sekitar dan program kesejahteraan rakyat.\nMEXCOE dihadiri oleh menteri dan ahli mesyuarat kerajaan negeri yang memegang portfolio berkaitan alam sekitar dari seluruh negara serta pegawai kementerian, jabatan, agensi yang berkaitan dengan alam sekitar pada peringkat kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri." "Memanfaatkan Kulit Telur untuk Alam Sekitar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAyam atau telur, yang manakah wujud dahulu? Soalan klasik ini sering dijadikan sebagai bahan senda gurau di seluruh dunia. Jika anda menjawab bahawa ayam yang wujud dahulu, kemudian baru adanya telur, maka jawapan tersebut adalah betul. Sekiranya anda menjawab telur yang wujud dahulu sebelum ayam, jawapan tersebut bukanlah salah dan semuanya bergantung perspektif anda terhadap telur. Namun demikian, timbul pula persoalan lain seperti adakah telur itu ialah telur ayam atau telur binatang lain yang dierami ayam atau telur yang tidak ada kaitan langsung dengan ayam?\nBerdasarkan bukti arkeologi, ayam domestik pertama yang berjaya dikesan di Asia Tenggara adalah daripada spesies ayam hutan atau red junglefowl kira-kira 10 ribu tahun lalu. Namun demikian, analisis asid deoksibonukleik (DNA) dan penyelesaian matematik mendapati bahawa spesies tersebut telah wujud di muka bumi sejak 58 ribu tahun lalu.\u00a0 Hal ini bermakna bahawa telur lebih dahulu wujud di dunia kerana telur telah wujud sejak 340 juta tahun lalu.\nWalau bagaimanapun, Dr. Colin Freeman dari Universiti Sheffield, England membuktikan bahawa ayam wujud terlebih dahulu sebelum telur berdasarkan penyelidikannya terhadap kulit telur. Beliau mendapati bahawa 95 peratus bahan utama yang membentuk kulit telur ialah kalsium karbonat (CaCO\u2083).\nMenurutnya, ayam menghasilkan kulit telur daripada sumber makanan yang tinggi kalsium. Seterusnya, kalsium dari sumber makanan tersebut disimpan dalam bentuk kristal CaCO\u2083 dan proses itu berlaku dengan bantuan protein ovocleidin-17 yang hanya terdapat dalam ovari ayam. Hal ini menjelaskan bahawa ayam wujud dahulu sebelum adanya telur.\u00a0Protein tersebut berperanan mempercepatkan pembentukan kulit telur dan membolehkan ayam menghasilkan telur dalam tempoh 24 jam. Tanpa ovocleidin-17 yang terdapat dalam ovari ayam, tidak mungkin telur akan terhasil.\u00a0\nTidak kiralah ayam atau telur yang wujud terlebih dahulu, yang lebih utama ialah telur merupakan sumber protein yang murah dan mudah diperoleh. Malangnya, harga telur semakin mencanak naik kebelakangan ini, malah pada suatu ketika dahulu, bekalannya juga sukar diperolehi. Kini, telur bukan lagi barang yang murah berbanding dengan sebelum berlakunya pandemik COVID-19. Alang-alang harga telur yang semakin mahal, sebaik-baiknya kita memanfaatkan telur ayam sepenuhnya, termasuklah pada bahagian kulitnya.\nNamun begitu, hal ini bukan bermaksud bahawa telur ayam itu harus dimakan bersama-sama dengan kulitnya. Cukuplah sekadar isinya diambil sebagai sumber protein, manakala kulitnya dimanfaatkan untuk menjaga alam sekitar. Berdasarkan rekod, pengambilan telur oleh 32 juta rakyat Malaysia memerlukan sebanyak 11.5 bilion telur ayam setahun. Setiap individu dianggarkan memerlukan 20 kilogram atau 361 biji telur dalam tempoh setahun dengan pengambilan minimum sebiji sehari.\nBerdasarkan laporan yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, rakyat Malaysia menggunakan sebanyak 30 juta telur ayam sehari atau kira-kira 930 juta telur ayam sebulan. Di peringkat global, penggunaan telur ayam turut meningkat dari 7951 juta dozen pada tahun 2019 kepada lebih 8000 dozen pada tahun 2020. United States Department of Agriculture menjangkakan angka ini akan terus meningkat menjelang tahun 2028 kepada 8917 juta dozen.\nSecara puratanya, sebanyak 78 juta metrik tan telur dihasilkan pada setiap tahun yang menyumbang kepada kira-kira 8.58 juta metrik tan kulit telur yang dibuang sebagai sisa makanan. Komoditi yang kaya kalsium dan penapis ultralembayung (UV) semula jadi itu berakhir di tapak pelupusan sampah yang membawa kepada pelbagai isu alam sekitar dan seharusnya diuruskan secara mampan.\nKulit telur merupakan sisa buangan terbaik yang memberikan manfaat besar kepada manusia, haiwan dan alam sekitar. Hal ini dikatakan demikian kerana kulit telur telah melalui pelbagai uji kaji di makmal dan digunakan secara meluas dalam teknologi biomedikal, kejuruteraan, kimia dan alam sekitar.\nKesan pembangunan, perindustrian serta pembandaran yang pesat dan tidak terancang mengundang kepada pelbagai bentuk pencemaran. Pada masa ini, pencemaran air menjadi isu utama alam sekitar kerana air merupakan sumber kehidupan. Apabila air sudah diracun dengan pelbagai logam berat, bahan kimia, petrokimia, antibiotik dan sisa toksik, bagaimanakah kehidupan boleh diteruskan?\nNegara China dilihat jauh lebih maju dalam memanipulasi daya penyerapan tinggi yang dimiliki oleh kulit telur ayam. Negara tersebut juga telah melancarkan produk atau peranti penapis berasaskan kulit ayam yang boleh menyingkirkan sisa racun perosak, patogen dan lilin pada permukaan buah-buahan serta sayur-sayuran.\nKulit telur digunakan kerana bahan ini mempunyai daya penyerapan yang tinggi dan digunakan sebagai agen biopenyerapan mesra alam bagi logam berat, pewarna, komponen organik, sulfonate dan fluorida disebabkan oleh mudah diperolehi, kos yang rendah dan senang diproses. Proses rawatan air sisa kumbahan menggunakan kulit telur mampu menyingkirkan sebanyak 90 peratus zink, arsenik, kromium, nikel, kadmium, plumbum dan sianida.\nDalam satu kajian yang dilakukan di China pada tahun 2018, kulit telur digunakan untuk merawat dan mengawal pencemaran tanah serta menyuburkan tanaman pertanian. Serbuk kulit telur ditaburkan di atas tanah tercemar dengan logam berat bertindak sebagai agen pelembut. Kulit telur menyerap semua logam berat tersebut dan menaikkan pH tanah. Hal ini adalah sebagai satu daripada cara menghalang tanaman menyerap logam berat dan meningkatkan kualiti hasil tanaman.\nSelain itu, keberkesanan kulit telur bukan sekadar mampu menyerap logam berat tetapi juga telah diuji keupayaannya menyingkirkan bahan radioaktif seperti uranium. Sisa air kumbahan yang tercemar dengan uranium amat berbahaya kepada kesihatan manusia dan haiwan. Penggunaan serbuk kulit telur sebagai agen penyerap mampu menyingkirkan sebanyak 88 peratus uranium daripada sisa air kumbahan.\nMelalui teknologi hibrid, iaitu gabungan antara serbuk kulit telur dengan mikroalga, kadar penyingkiran logam berat seperti besi, tembaga, zink, mangan dan kadmium adalah lebih tinggi, iaitu mencapai 95 peratus. Pada masa yang sama, mikroalga tersebut juga boleh digunakan sebagai sumber biologi biojisim baharu untuk penghasilan biodiesel. Kulit telur pula menjadi sumber nutrien untuk pertumbuhan mikroalga biojisim.\nMelalui teknologi biomedikal, kulit telur digunakan sebagai sumber tonik kalsium dan bahan tambahan makanan termasuk kalsium laktat, kalsium propionat, kalsium glukonat, kalsium sitrat dan kalsium asetat. Misalnya, kalsium laktat digunakan secara meluas dalam industri makanan sebagai pengawet, perasa, agen penaik, penstabil dan bahan tambahan antimikrobia. Kaedah terbaharu menghasilkan kalsium laktat daripada kulit telur menambah kecekapan bahan tersebut untuk dilarutkan dan menyerap.\nPada bulan Julai 2019, Prof. Gulden Camci-Unal dan kumpulan penyelidik dari University of Massachusetts Lowell telah membangunkan teknologi hidrogel yang boleh diaplikasikan untuk mempercepat proses penyembuhan kecederaan tulang yang disebabkan oleh kemalangan, faktor penuaan, kanser serta penyakit tulang yang lain atau untuk kegunaan ketenteraan. Partikel kulit telur yang tinggi kandungan kalsium karbonat dimasukkan ke dalam campuran hidrogel dapat mempercepat pertumbuhan tulang dan menjadikan tulang keras serta meningkatkan proses penyembuhan.\nSementara itu, dalam teknologi kimia, kulit telur digunakan sebagai penyubur tanaman, sumber kalsium organik dalam industri pembuatan serta pemprosesan makanan, sumber kalsium aktif dan protein larut serta karbon. Selain, kulit telur juga digunakan dalam penghasilan biodiesel dan pembuatan plastik terbiodegradasi untuk menjadikannya sebagai produk yang selamat serta mesra alam, lebih fleksibiliti dan tahan tekanan.\nTeknologi kejuruteraan juga tidak melepaskan peluang untuk memanfaatkan kulit telur dalam mengekalkan kualiti dan kecekapan semula jadi bahan binaan. Dalam industri pembinaan misalnya, kegunaan kulit telur sebagai penghalang sinar UV semakin mendapat perhatian dan memberikan alternatif yang lebih mesra alam kepada titanium oksida yang sekarang ini digunakan sebagai fotoprotector.\nPada tahun 2020, syarikat Nature Squared di Filipina memperkenalkan jubin lantai pelbagai bentuk dan warna berasaskan kulit telur yang mempunyai ketahanan tinggi. Sebelum itu, pada tahun 2017, buat pertama kalinya pasukan saintis dari Institut Teknologi Guizhou, China berjaya mencipta peranti penyimpan data mesra alam menggunakan kulit telur ayam. Walaupun peranti tersebut menggunakan kulit telur, namun keupayaannya tidak diragui dan setanding dengan peranti sedia ada. Penemuan itu memungkinkan suatu permulaan baharu peranti mesra alam dengan kos yang rendah dan penggunaan bahan mampan dalam penghasilan peranti penyimpanan data untuk generasi akan datang.\nSelepas ini, kulit telur seharusnya tidak hanya menjadi sisa buangan tetapi sebagai produk yang lebih bernilai daripada telur itu sendiri. Isi telur hanya berperanan sebagai sumber protein dan mengisi perut, namun kulitnya jauh lebih bermanfaat dalam mengekalkan kelestarian alam sekitar." "HTF Dipilih sebagai Pusat Peperiksaan Klinikal Pertama Luar Kuala Lumpur\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Pengesahan bahawa Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar berjaya dipilih sebagai pusat peperiksaan klinikal yang terakhir untuk menjadi pakar perubatan dalaman pertama di luar Kuala Lumpur telah dibuat oleh tokoh dari Royal College of Physicians Ireland (RCPI), iaitu Ketua Peperiksaan Klinikal Antarabangsa, Profesor Geoff Chadwick dan Pengurus Peperiksaan Antarabangsa, Sinead Freeman semasa melawat ke Perlis bagi melaksanakan proses akreditasi baru-baru ini.\nRCPI terkenal pada peringkat antarabangsa dalam memberikan latihan pascasiswazah untuk pegawai perubatan dalam bidang perubatan dalaman. Kelayakan antarabangsa yang berprestij ini diiktiraf di Malaysia sebagai satu daripada peperiksaan dalam program Parallel Pathway.\nDemikian dimaklumkan oleh penasihat dan wakil Malaysia untuk RCPI, Datuk Seri Profesor Dr. Paras Doshi yang telah dianugerahkan Fellowship dengan kelayakan FRCPI dari RCPI dan dilantik sebagai pemeriksa antarabangsa pada tahun 2015. Beliau juga merupakan pengerusi kebangsaan bagi program Parallel Pathway Perubatan Dalaman Malaysia.\nKetika di Perlis, Chadwick dan Freeman mengadakan kunjungan sembah mengadap hormat ke atas Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Bilik Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).\nPengiktirafan Kangar sebagai pusat pemeriksaan untuk peperiksaan klinikal terakhir merupakan kejayaan yang besar bagi negeri Perlis secara khususnya dan di Malaysia amnya. Kini, telah terbukti bahawa dengan kehadiran bakal barisan pemeriksa dan calon dari seluruh negara dan antarabangsa mempamerkan kebolehan HTF untuk menjadi pusat bagi latihan pascasiswazah untuk pakar perubatan.\nMenurut Datuk Seri Profesor Dr. Paras Doshi, inisiatif ini merupakan hasil daripada visi DYTM Raja Muda Perlis untuk mengharumkan nama negeri Perlis dalam bidang perubatan dan pengajaran. Selain itu, DYTM Raja Muda Perlis juga merupakan sumber inspirasi dalam penubuhan servis Advanced Acute Internal Medicine (AAIM) di Perlis yang telah menjimatkan jutaan ringgit untuk kerajaan serta mewujudkan beberapa perkhidmatan baharu yang amat diperlukan oleh rakyat di Malaysia.\nSementara itu, delegasi dari Dublin itu turut melawat Bangunan Hemodialisis MAIPs di HTF bersama-sama Pengarah HTF, Dr. Mohamad Shafiee Ismail. Kini, bangunan ini dalam persiapan untuk menjalankan peperiksaan yang bakal dianjurkan pada hujung tahun ini. Mereka juga meluangkan masa untuk melawat Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, UniMAP yang dilengkapi dengan teknologi canggih.\nTurut hadir dalam lawatan ini ialah Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Sirajuddin Hashim dan Ketua Jabatan Perubatan Dalaman HTF, Dr. Shafarul Halimi." "Kesihatan Mental Penting bagi Melahirkan Individu Cemerlang \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra \u2013 \u201cKesihatan mental amat penting kerana menyumbang kepada kecerdasan minda dalam melahirkan individu yang cemerlang yang akan memimpin negara kelak,\u201d titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan \u201cMajlis Penutup Program Minda Cerdas Komuniti Gemilang \u2013 Siri 1\u201d anjuran Pusat Rancangan Kokurikulum, Universiti Sains Malaysia (USM) di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Pauh Putra, petang semalam.\nMenurut baginda, masyarakat perlu cakna tentang segala simptom yang menyumbang kepada kemerosotan kesihatan mental. Pada masa yang sama juga, masyarakat perlu mempunyai strategi bagi mengatasi kemerosotan kesihatan mental dengan sentiasa berhubung dengan orang di sekeliling, meluahkan kerisauan yang ada dalam diri, memerhatikan kesihatan fizikal masing-masing, dan mendapatkan bantuan profesional sebelum terlambat.\nProgram kesedaran kesihatan mental dalam kalangan komuniti belia dan mahasiswa dalam kalangan keluarga asnaf dan B40 di negeri Perlis selama dua hari ini dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi di bawah Program KPT PRIHATIN \u2013 Komuniti Sejahtera (KRIS). Program ini turut mendapat sokongan padu daripada pihak UniMAP, Faizuddin Centre of Excellence (FCOE) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).\nProgram ini melibatkan kehadiran para pelajar yang berasal dari negeri Perlis terpilih yang kini sedang melanjutkan pelajaran di USM, UiTM Cawangan Perlis, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Kolej Komuniti Arau, dan UniMAP.\nJagalah kesihatan anda semua, kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Jadikanlah diri anda sebagai contoh dan teladan kepada orang di sekeliling.\nTambah baginda, dengan pelbagai inisiatif yang telah dilakukan oleh para akademia dan ilmuan daripada USM, UniMAP, FCOE, dan MAIPs dalam menyumbang ilmu pengetahuan, kemahiran dan kepakaran, pasti banyak lagi buah fikiran ilmuwan dalam pelbagai bidang dapat digunakan untuk melakukan perubahan. Sumbangan daripada ahli akademik dan ilmuwan ini perlu dihargai dan dijadikan sebagai sumber rujukan dalam menyelesaikan masalah negara.\nBerangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Profesor Dr. Mohd Yusoff Mashor dan Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum USM, Profesor Madya Dr. Mohamad Haafiz Mohd Kassim.\nTurut hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato\u2019 Seri Dr. Awang Adek Hussin, Pengerusi FCOE, Profesor Emeritus Datuk Ir. Ts. Dr. Kamarudin Hussin, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato\u2019 Dr. Narimah Samat, dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor." "MAFI Komited Kelangsungan Pengeluaran Ayam Terjamin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Sesi libat urus yang melibatkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta pemain utama industri ayam telah diadakan di Wiswa Tani, MAFI, semalam. Sesi ini telah dihadiri oleh 12 orang pemain lndustri dan persatuan penternak seperti Leong Hup Poultry Farm Sdn. Bhd., HLRB Broiler Farm Sdn.Bhd., PWF CorporaUon Bhd. Federation of Livestock Farmers\u2019 Associations of Malaysia (FLFAM), dan Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPANS).\nMenurut Menteri MAFI, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dalam kenyataan medianya, MAFI mengambil maklum akan semua isu yang telah dibangkitkan, termasuklah peningkatan kos pengeluaran ayam, masalah kenaikan berat badan ayam, jangkitan penyakit, keadaan cuaca, proses Kebenaran Merancang (KM), dan sebagainya yang antara lain telah menjejaskan operasi dan seterusnya memberikan kesan kepada bekalan ayam.\nTambah beliau, isu berkaitan dengan pemberian subsidi ayam melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) kepada penternak juga telah dibincangkan. DVS akan terus mempermudah dan mempercepat proses tuntutan subsidi penternak ayam bagi merancakkan aktiviti pengeluar makanan ke arah meningkatkan pengeluaran domestlk.\nUntuk makluman, kerajaan telah menetapkan harga siling ayam standard pada harga RM8.90/kilogram dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu.\nTujuan subsidi ini diberikan adalah untuk meringankan beban kos pengeluar ayam yang kian meningkat. Waiau bagaimanapun, hanya sebanyak RM5O juta subsidi telah dibayar setakat ini. Semua penternak yang memenuhi syarat diminta untuk mengemukakan permohonan supaya tuntutan dapat disalurkan dalam tempoh yang telah dijanjlkan.\nMelalui sesi libat urus ini, pihak industri telah memberikan komitmen dan jaminan bahawa ladang mereka akan terus membekalkan ayam untuk keperluan pasaran tempatan.\nMengulas dengan lebih lanjut tentang hal ini, MAFI akan terus mengadakan perjumpaan dan libat urus dengan pihak industri yang berperanan penting dalam rantaian pengeluaran bekalan ayam bagi memastikan kelangsungan pengeluarannya kekal terjamin.\nMana-mana pihak yang menyorok, menyimpan atau sabotaj terhadap bekalan ayam dalam pasaran yang dapat menjejaskan kehidupan rakyat akan dikenakan tindakan tegas daripada pihak kerjaan. Pihak kerajaan juga tidak akan berkompromi tentang hal ini.\nMAFI juga sentiasa memandang serius terhadap sebarang perkara yang mengancam sekuriti makanan negara dan akan terus mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan bekalan makanan negara akan terus kekal terjamin demi kesejahteraan Keluarga Malaysia." "Serangan Penafian Perkhidmatan terhadap Rangkaian Komputer\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam dunia pengkomputeran, serangan penafian perkhidmatan atau denial-of service attack (DoS) merupakan serangan siber. Dalam serangan DoS ini, pelaku berusaha menjadikan mesin atau sumber rangkaian komputer tidak tersedia dengan mengganggu perkhidmatan hos yang disambungkan kepada Internet buat sementara waktu atau selama-lamanya. Serangan DoS biasanya dilakukan dengan membanjiri mesin atau sumber yang disasarkan dengan permintaan berlebihan untuk membebani sistem dan mencegah beberapa atau semua permintaan yang sah daripada dipenuhi.\nSerangan DoS pada sistem yang tersambung kepada Internet mempunyai sejarahnya tersendiri yang bermula dengan serangan oleh Robert Morris Worm pada tahun 1988. Dalam serangan itu, Morris yang merupakan seorang pelajar siswazah di Massachusetts Institute of Technology telah melepaskan perisian hasad (malicious software) yang cepat merebak melalui Internet global sehingga mencetuskan limpah atas penimbal (buffer overflow) dan serangan DoS kepada sistem yang terjejas.\nPihak yang tersambung kepada Internet pada masa itu kebanyakannya ialah institusi penyelidikan dan akademik serta dianggarkan sebanyak 10 peratus daripada 60 ribu sistem di Amerika Syarikat telah terjejas. Kerosakan tersebut dianggarkan bernilai USD100 juta. Menurut Pejabat Perakaunan Umum Amerika Syarikat, Morris berjaya didakwa di bawah Akta Penipuan dan Penyalahgunaan Komputer 1986 dan dijatuhi hukuman selama tiga tahun penjara, 400 jam khidmat masyarakat serta didenda sebanyak USD10 000.\nSeterusnya, antara serangan DoS yang lain ialah serangan penafian perkhidmatan teragih atau distributed denial of service (DDoS). Serangan DDoS berlaku apabila banyak sistem mengatur serangan DoS yang diselaraskan ke suatu sasaran. Perbezaan yang penting ialah sasaran, bukannya diserang dari satu lokasi tetapi diserang dari banyak lokasi. Hal ini menjadikan serangan ini mustahil dihentikan dengan hanya menyekat daripada satu sumber semata-mata.\nDari segi tahap ancaman, serangan DoS dianggap sebagai tahap ancaman rendah, manakala serangan DDoS dianggap sebagai tahap ancaman pertengahan hingga tinggi. Hal ini kerana serangan tersebut dapat digunakan untuk melakukan beberapa kerosakan serius terhadap rangkaian dan sistem. Perisian berniat jahat seperti botnet biasanya berkaitan dengan serangan berdasarkan DDoS, manakala DoS pula tidak berkaitan dengan serangan berdasarkan perisian hasad.\nDengan kata lain, serangan DoS atau DDoS serupa dengan sekelompok manusia yang mengerumuni pintu masuk sesebuah kedai sehingga sukar untuk pelanggan lain memasukinya dan mengganggu urusan jual beli.\nSerangan DoS atau DDoS sering menggunakan kelemahan dalam cara protokol rangkaian menangani lalu lintas rangkaian. Sebagai contohnya, serangan ini menghantar sebilangan besar paket kepada perkhidmatan rangkaian yang lemah dari alamat protokol Internet yang berlainan untuk membanjiri perkhidmatan dan membuatnya tidak tersedia untuk pengguna. Serangan DoS sering mensasarkan pelayan web organisasi berprofil tinggi seperti perbankan, perdagangan, syarikat media atau organisasi kerajaan. Walaupun serangan DoS biasanya tidak mengakibatkan kecurian, kehilangan maklumat penting atau aset lain, namun begitu serangan ini boleh digunakan untuk mengugut mangsa agar membayar wang tebusan bagi menyelesaikan masalah tersebut.\nTidak seperti virus atau perisian berniat jahat, serangan DoS tidak bergantung pada program khas untuk dijalankan. Sebaliknya, serangan ini memanfaatkan kerentanan yang wujud dalam cara rangkaian komputer berkomunikasi. Secara umumnya, serangan DoS menggunakan sebuah komputer dan satu alamat protokol Internet untuk menyerang sasarannya dan menjadikannya lebih mudah untuk dipertahankan.\nSebagai contohnya, andaikan seseorang itu ingin mengunjungi laman web e-dagang untuk membeli hadiah. Komputer pembaca itu akan menghantar sebilangan kecil maklumat kepada laman web. Paket ini berfungsi sebagai \u201cHello\u201c. Komputer pembaca tersebut akan mengatakan, \u201cHai, saya ingin melawat anda, tolong izinkan saya masuk.\u201c\nApabila pelayan menerima mesej komputer daripada pembaca tersebut, pelayan ini akan membalas seperti \u201cBaiklah, adakah anda nyata?\u201c dan komputer pembaca tersebut segera menjawab \u201cYa\u201c dan seterusnya komunikasi terjalin.\nHalaman utama laman web kemudiannya muncul di skrin pembaca tersebut. Pembaca itu juga sudah boleh menjelajah laman web ini. Komputer dan pelayan terus berkomunikasi semasa pembaca mengklik pautan, membuat pesanan atau menjalankan perniagaan lain.\nDalam serangan DoS, komputer ditipu untuk mengirim bukan hanya satu \u201cpengenalan\u201c kepada pelayan, tetapi ratusan atau ribuan. Pelayan yang tidak dapat mengenal pasti bahawa perkenalan itu palsu akan menghantar respons yang biasa dan menunggu hingga satu minit dalam setiap kes bagi mendapat maklum balas daripada komputer. Apabila tidak mendapat jawapan, pelayan akan memutuskan sambungan dan komputer yang melakukan serangan itu terus berulang mengirim permintaan palsu yang baharu dan menyebabkan berlakunya serangan DoS.\nSeperti yang diketahui, serangan DoS hanya melibatkan satu komputer dan satu sambungan Internet untuk membanjiri sistem atau sumber yang disasarkan supaya menjadikannya tidak responsif, manakala serangan DDoS pula menggunakan banyak komputer dan sambungan Internet untuk membanjiri sumber yang disasarkan. Serangan DDoS memerlukan penyerang untuk mendapatkan kawalan rangkaian dalam talian sesuatu mesin atau komputer bagi melakukan serangan. Komputer dan mesin lain seperti peranti Internet Pelbagai Benda (IPB) akan dijangkiti perisian berniat jahat sekali gus menjadikannya sebagai satu bot atau zombie. Penyerang kemudiannya mempunyai kawalan jauh terhadap kumpulan bot yang disebut sebagai botnet.\nSetelah botnet dibentuk, penyerang dapat mengarahkan mesin dengan mengirimkan arahan yang diperbaharui kepada setiap bot melalui cara kawalan jauh. Ketika alamat protokol Internet mangsa disasarkan oleh botnet, setiap bot akan memberikan respons dengan mengirimkan permintaan kepada sasaran yang berpotensi dan menyebabkan penyedia atau jaringan yang disasarkan mengalami limpahan kapasiti lalu mengakibatkan serangan DoS kepada lalu lintas rangkaian. Oleh sebab setiap bot merupakan peranti Internet yang sah, proses memisahkan lalu lintas serangan daripada lalu lintas normal menjadi lebih sukar.\nKepelbagian hos yang menghasilkan DDoS memberikan banyak kelebihan kepada penyerang. Antaranya adalah seperti yang berikut:\nBanyak serangan DoS berprofil tinggi adalah jenis serangan yang diagihkan. Hal ini kerana lalu lintas serangan diarahkan dari pelbagai sistem dan komputer. Serangan DoS yang berasal daripada satu sumber atau alamat protokol Internet lebih mudah dihalang kerana pertahanannya dapat menyekat lalu lintas rangkaian daripada sumber yang mencurigakan. Sementara itu, serangan DDoS pula diarahkan dari beberapa sistem serangan dan menyebabkannya jauh lebih sukar untuk dikesan dan dipertahankan.\nSelain itu, sukar untuk membezakan antara lalu lintas yang sah dengan lalu lintas yang berniat jahat serta menyaring paket yang tidak baik ketika paket dihantar daripada alamat protokol Internet yang terdapat di seluruh rangkaian Internet. Teknologi keselamatan moden telah menambah baik cara untuk mempertahankan diri daripada kebanyakan bentuk serangan DoS. Walau bagaimanapun, disebabkan oleh ciri DDoS yang unik, serangan ini masih dianggap sebagai ancaman yang tinggi dan menjadi perhatian utama bagi organisasi yang bimbang bakal menjadi sasaran serangan tersebut.\nSebagai kesimpulannya, kemajuan Internet pada hari ini telah menyebabkan peningkatan serangan DoS. Seperti yang telah kita lihat, serangan DDoS merupakan ancaman sebenar yang menyebabkan kerosakan serius kepada kebanyakan pengguna Internet. Kerugian yang dialami telah meningkat sehingga melemahkan dan melumpuhkan fungsi beberapa komputer pengguna. Namun begitu, setiap yang berlaku pasti ada alasan yang tertentu dan terpulang kepada pengguna komputer untuk mempercayai bahawa kadar dan keseriusan serangan DDoS pasti akan terus meningkat.\nTahap kerugian semasa yang disebabkan oleh DDoS mungkin bukan sahaja disebabkan oleh kejayaan dalam mempertahankannya atau kesulitan dalam melakukan serangan serta kurangnya sasaran menarik untuk menyerang. Sebaliknya, tahap kerugian lebih berkaitan dengan motivasi dan keinginan mereka yang terdorong untuk melakukan serangan. Tidak ada jalan penyelesaian untuk serangan ini tetapi langkah yang bijak perlu diambil bagi mencegahnya dan mengurangkan masalah ini.\n\u00a0\nPenulis ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Komputer dan Matematik dan Felow Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK), Universiti Teknologi MARA." "KKM Siap Siaga Hadapi HFMD dan Cacar Monyet\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cDari 1 Januari 2022 hingga 25 Mei 2022, sebanyak 57 510 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) telah dilaporkan, yakni peningkatan sebanyak 24 kali ganda dalam tempoh yang sama berbanding dengan tahun 2021,\u201c kata Menteri Kementerian Malaysia, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin dalam sidang media yang berlangsung, semalam.\nTambah beliau, perbandingan ini kurang sesuai kerana pada tahun 2021, pergerakan orang ramai agak kurang dan semua taska ditutup. Peningkatan kes ini berikutan pembukaan semua sekolah, tabika, tadika, dan taska serta peningkatan aktiviti sosial dan kebersihan diri tidak terjaga.\nSecara puratanya, bilangan kes HFMD yang dicatatkan adalah antara 300 kes hingga 2000 kes sehari. Lima buah negeri yang mencatatkan kes tertinggi ialah Selangor (16 286 kes), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (7298 kes), Perak (5045 kes), Kelantan (4194 kes), dan Sabah (3829 kes). Kes terbanyak dilaporkan melibatkan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah, iaitu sebanyak 92 peratus kes, manakala kumpulan kanak-kanak berumur antara tujuh tahun hingga 12 tahun sebanyak tujuh peratus kes.\nMenurutnya lagi, terdapat beberapa pelan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menurunkan kes HFMD di Malaysia. Yang pertama adalah dengan memutuskan rantaian transmisi dengan objektif untuk menurunkan kes mingguan kepada kurang daripada 800 kes. Yang kedua adalah dengan mengurangkan morbiditi dan mengelakkan kematian dalam kes HFMD.\n\u201cSelain itu, pelan tindakan seterusnya adalah dengan memperkukuh survelan, iaitu memastikan survelan (kes dan makmal) untuk merancang dan melaksanakan aktiviti pencegahan serta kawalan HFMD. Yang keempat adalah dengan memperkasakan komuniti melalui peningkatan pengetahuan, kesedaran dan amalan terhadap langkah pencegahan HFMD bagi mengurangkan risiko jangkitan. Pelan tindakan terakhir adalah dengan kerjasama multisektor, iaitu memperkukuh kerjasama dan kolaborasi antara kementerian dengan agensi kerajaan dan swasta,\u201c katanya lagi.\nWalaupun Malaysia masih belum menerima sebarang kes berkaitan dengan cacar monyet, KKM telah melakukan pelan tindakan bagi menghadapi risiko kemasukan jangkitan tersebut ke Malaysia. Objektif umum strategi ini adalah untuk mencegah kemasukan dan penularan jangkitan cacar monyet di Malaysia. Objektif khusus pula adalah untuk meningkatkan survelan cacar monyet bagi pengesanan kes dan rujukan segera untuk pengasingan, rawatan dan pemantauan serta melaksanakan aktiviti pencegahan, kawalan dan rawatan cacar monyet secara komprehensif bagi mengawal penularan jangkitan cacar monyet dalam komuniti.\nStrategi pertama dalam pelan tindakan yang disediakan oleh KKM ialah pengesanan awal kes melalui pengukuhan aktiviti survelan di pintu masuk antarabangsa dan klinik atau hospital awam dan swasta. Antara langkah yang diambil ialah pengedaran garis panduan saringan pengembara kes cacar monyet di pintu masuk antarabangsa, pengeluaran kad amaran untuk pengembara dari negara berisiko bagi pemantauan kesihatan kendiri selama 21 hari dan pengumuman di penerbangan semasa pelepasan dan ketibaan berkaitan dengan penyakit cacar monyet. Kes yang disyaki cacar monyet akan dirujuk terus ke hospital. Survelan haiwan import turut dilakukan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).\nStrategi kedua ialah memperkukuh diagnostik dengan memastikan keupayaan makmal untuk melakukan ujian pengesanan cacar monyet. Peningkatan kapasiti dan kapabiliti makmal, memperkukuh survelan zoonosis makmal dan memperkasakan pengurusan data makmal serta infrastruktur teknologi maklumat antara langkah utama yang diambil bagi menyokong strategi kedua ini.\nSelain itu, strategi ketiga pula adalah dari segi pengurusan kes, iaitu mengurangkan morbiditi dan mortaliti kes yang dirawat di hospital melalui pemberian antiviral, kawalan infeksi dan pemberian vaksin kepada yang berisiko tinggi. Taklimat atau latihan diberikan kepada anggota kesihatan berdasarkan garis panduan pengurusan kes cacar monyet di Malaysia bagi memperkukuh strategi ketiga. Langkah lain yang akan dilaksanakan ialah kaunter saringan demam di klinik, pengenalpastian pesakit yang memenuhi definisi kes cacar monyet, pematuhan langkah pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit, pemberian antiviral kepada kes, pencegahan dan kawalan infeksi.\nStrategi yang seterusnya ialah pengurusan kluster atau wabak melalui peningkatan keupayaan untuk pengesanan kontak rapat, pemberian vaksin kepada kontak rapat, penggunaan MySejahtera bagi digital Home Surveillance Order dan pemantauan status kesihatan. Kontak rapat akan dikuarantin di tempat kediaman selama 21 hari dan perlu melengkapkan aplikasi MySejahtera setiap hari. Di samping itu, kontak rapat yang bergejala akan dirujuk ke hospital untuk pengasingan dan pemeriksaan lanjut. Vaksinasi diberikan kepada kontak rapat untuk mengurangkan keterukan penyakit.\nStrategi terakhir ialah meningkatkan pengetahuan dan kesedaran komuniti, iaitu memperkasakan komuniti melalui pendidikan kesihatan dan komunikasi risiko. Penyebaran info kesihatan berkaitan dengan cacar monyet kepada orang awam akan digiatkan melalui infografik soalan kerap tanya (FAQ) di media sosial KKM, slot radio, televisyen, pengumuman untuk pengembara dari negara yang melaporkan kes cacar monyet, siaran maklumat cacar monyet di pintu masuk antarabangsa dan amaran cacar monyet dipaparkan dalam MySejahtera untuk pengembara yang tiba dari negara yang melaporkan kes cacar monyet.\nDi samping itu, libat urus bersama-sama agensi lain turut dijalankan melalui mesyuarat atau perbincangan dengan agensi berkaitan dan kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan yang menjaga kebajikan kumpulan berisiko tinggi untuk program meningkatkan kesedaran cacar monyet dalam kalangan ahlinya." "Raja Muda Perlis Seru Rakyat Berhenti Merokok\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Kempen Berhenti Merokok bersempena dengan program Hijrah Minda MAIPs Siri ke-13 bagi tahun 2022 yang diadakan di Masjid Al Saadah, Baroh turut dihadiri oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.\nProgram yang dilaksanakan ini adalah sebahagian daripada usaha pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama-sama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) bagi menjadikan \u201cRakyat Perlis Bermentaliti Kelas Pertama dalam Segala Tindakan\u201d.\nSementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Sirajuddin Hashim turut menyarankan agar semua perokok yang berhasrat ingin berhenti merokok mendapatkan perkhidmatan berhenti merokok di mana-mana klinik kesihatan terdekat di negeri ini. Pada masa yang sama, perokok juga boleh mengamalkan kaedah 12 \u201cM\u201d seperti yang berikut:\nDalam program ini juga, DYTM Raja Muda Perlis berkenan menyerahkan sumbangan zakat MAIPs bernilai RM11 600 untuk diagihkan oleh amilnya, Encik Rozali Hashim kepada 29 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah berkenaan.\nTurut hadir dalam program tersebut dan mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor." "Datuk dan Dato\u2019\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nSaya kurang pasti tentang penggunaan gelaran Datuk dan Dato\u2019. Apakah perbezaan antara kedua-dua gelaran ini? Adakah kedua-dua perkataan itu dapat digunakan secara bertukar ganti?\nDaripada:\nMuhammad Mohamad Idris,\nKuala Rompin, Pahang." "Raja Muda Perlis Saran Masyarakat Libatkan Diri dalam Aktiviti Penanaman Pokok\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap agar masyarakat dapat melibatkan diri dalam aktiviti penanaman pokok yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat sejagat.\n\u00a0\nKetika berkenan menyempurnakan perasmian \u201cProgram Kembara Hijau bersama-sama Himpunan Outdoorians Malaysia (HOM) Perlis\u201d bersempena dengan Kempen Penghijauan Malaysia dan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis Tahun 2022 yang diadakan di Kompleks Basikal Lasak, Sungai Batu Pahat tengah hari ini, baginda bertitah:\nBeta percaya, dengan usaha yang berterusan oleh pihak kementerian dan jabatan serta pelibatan semua pihak, objektif \u201cProgram Penghijauan Malaysia, Kempen Penanaman 100 Juta Pokok\u201d dapat dicapai dalam tempoh yang ditetapkan, iaitu menjelang tahun 2025.\nMenurut DYTM Raja Muda Perlis, pendekatan kempen yang kreatif dan unik dapat menarik minat rakyat untuk terlibat dan hal ini dibuktikan dengan pengendalian program yang melibatkan pelbagai kumpulan sukarelawan, termasuklah peserta daripada dalam dan luar negeri Perlis.\n\u201cSebenarnya, jika setiap rakyat Malaysia, iatu sebanyak 32.4 juta orang mengambil inisiatif sendiri untuk menanam kira-kira empat batang pokok, sebanyak 130 juta pokok baharu yang akan berjaya ditanam dalam masa 10 minit sahaja,\u201d titah baginda lagi.\nKeberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Encik Ag. Shaffie Ag. Ahmadni.\nHadir sama ke program ini ialah Menteri Besar Perlis, Yang Amat Berhormat Dato\u2019 Seri Azlan Man dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Yang Berhormat Datuk Seri Takiyuddin Hassan.\nDalam majis tersebut juga diadakan persembahan deklamasi sajak oleh Pegawai School Improvement Specialist Coaches, Puan Azlina Ahmad, penyampaian sijil dan plak Program Penghijauan Malaysia, lawatan ke pameran HOM dan acara simbolik penanaman pokok." "Tembakau Ancaman kepada Alam Sekitar dan Generasi Masa Hadapan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Hari Tanpa Tembakau Sedunia disambut pada 31 Mei setiap tahun untuk memberikan kesedaran tentang implikasi penggunaan tembakau terhadap kesihatan sekali gus bagi mengurangkan penyakit dan kematian. Majlis Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2022 yang diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Choong Wen\u00a0 semalam telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan 1, Yang Berhormat, Dato\u2019 Dr. Mah Hang Soon dan Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia 1, Yang Berhormat Dato\u2019 Dr. Haji Noor Azmi Ghazali.\nTurut hadir dalam majlis tersebut ialah Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Profesor Datuk Dr. Lekhraj Rampal. MCTC merupakan pertubuhan daripada gabungan 38 badan bukan kerajaan dan institusi pengajian tinggi. MCTC ini ditubuhkan atas sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mempromosikan dasar kawalan tembakau obligasi negara kepada rangka kerja Konvensyen Kawalan Tembakau (WHO FCTC) bagi melindungi kesihatan penduduk daripada ancaman asap tembakau dengan sasaran penamat tembakau pada tahun 2040.\nMenurut beliau, Pelan Strategik Kebangsaan bagi Kawalan Tembakau 2021-2030 telah menyasarkan untuk menurunkan prevalen merokok kepada 15 peratus menjelang tahun 2025 dan kurang daripada lima peratus prevalen merokok menjelang tahun 2040 sebagai penamat tembakau negara.\nTambah beliau lagi, antara cadangan yang disyorkan oleh MCTC untuk menjadi keutamaan pihak kerajaan dalam bidang kuasa KKM adalah seperti meluluskan Rang Undang-undang Kawalan Tembakau yang dibentang dalam sidang parlimen akan datang, mempercepat pelaksanaan pelesenan produk tembakau dan tembakau yang telah tertangguh sejak tahun 2011, mengharamkan serta-merta produk vap dan rokok elektronik yang menjadi ikutan remaja, menaikkan cukai terhadap tembakau dan hasil tembakau kepada 70 peratus daripada harga runcit sepertimana yang disyorkan oleh Bank Dunia, menaikkan denda sebagai satu daripada pencegahan kegiatan perdagangan haram tembakau dan hasil tembakau serta membentuk skim pembiayaan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO/CSO) untuk melaksanakan program pendidikan kesihatan.\nSelain itu, Yang Berhormat Dato\u2019 Dr. Haji Noor Azmi Ghazali mengatakan bahawa program seperti ini dapat menaikkan semangat masyarakat untuk menyelamatkan negara daripada penyakit bawaan berhubung dengan rokok seperti penyakit kardiovaskular, kanser paru-paru, pernafasan kronik, dan sebagainya.\nDalam ucapannya juga, beliau turut menekankan bahawa merokok merupakan punca utama kematian pramatang. Sebanyak 27 000 rakyat Malaysia telah meninggal dunia setiap tahun disebabkan oleh rokok. Beliau juga mengatakan bahawa kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 telah mencatatkan sebanyak 4.8 juta rakyat Malaysia telah merokok selama lebih 15 tahun.\nOleh yang demikian, KKM telah bercadang untuk melaksanakan peruntukan Generasi Penamat atau Generational End Game (GEG), iaitu satu daripada langkah strategik bagi melarang aktiviti tertentu berkaitan dengan merokok terhadap generasi yang lahir pada 1 Januari 2005 dan seterusnya. Generasi yang lahir pada 1 Januari 2005 dan ke atas inilah yang dinamakan sebagai GEG.\nMengulas lanjut, beliau mengatakan bahawa larangan aktiviti tertentu berkaitan dengan merokok, termasuklah menjual sebarang produk merokok kepada GEG, larangan penggunaannya sama ada mengunyah atau menghisap rokok serta pembelian dan pemilikan sebarang produk merokok oleh golongan GEG. Hal ini adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas daripada amalan merokok menjelang tahun 2040.\n\u201cMerokok merupakan tabiat yang bukan sahaja akan memudaratkan kesihatan diri dan orang di sekeliling, menjejaskan imej dan menyebabkan pembaziran wang, malah mencemarkan alam sekitar. Hasil daripada kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan serta kajian Tobacco and E-Cigarette Survey Among Malaysian telah menunjukkan peningkatan penggunaan rokok dan vap dalam kalangan remaja,\u201c demikian ucapan Yang Berhormat Dato\u2019 Dr. Mah Hang Soon ketika majlis Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2022 berlangsung.\nBeliau turut memaklumkan bahawa pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama KKM telah melancarkan program Generasi Penamat Antirokok 18 (GEGAR-18) pada 25 April 2022 lalu yang bertujuan untuk mewujudkan generasi yang bebas daripada tabiat merokok.\nMengakhiri ucapan perasmian, beliau turut menyatakan bahawa pelan perancangan selama lima tahun telah dirangka dengan menggariskan semua aktiviti promosi, pencegahan dan intervensi berhenti merokok kepada golongan generasi baharu bermula daripada alam persekolahan hingga memasuki institusi pengajian tinggi atau alam pekerjaan.\nUntuk makluman, majlis pada hari ini telah dianjurkan oleh Persatuan Perubatan Malaysia dengan kerjasama Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Persatuan Kanser Kebangsaan, dan Persatuan Lung Cancer Network Malaysia. Pihak penganjur juga telah mengadakan pertandingan melukis poster peringkat kebangsaan yang bertemakan \u201cKe Arah Generasi Tanpa Merokok\u201d dan sebanyak 9597 penyertaan telah diterima. Kebanyakan peserta yang menyertai pertandingan tersebut terdiri daripada murid sekolah rendah dan sekolah menengah. Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan melukis poster dan sesi bergambar bersama-sama tetamu kehormat." "Pantai Timur Sabah sebagai Lokasi Pelancongan Astronomi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSandakan \u2013 \u201cPantai Timur Sabah berpotensi untuk dibangunkan menjadi lokasi pelancongan astronomi,\u201d kata Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba dalam Majlis Perasmian Program Jelajah Astronomi Pantai Timur Sabah 2022 baru-baru ini.\nMenurut beliau, program jelajah ini merupakan langkah pertama ke arah menyemarakkan kefahaman astronomi dan menjadi pencetus kepada agenda sains angkasa kerana negeri Sabah masih kekal sebagai lokasi langit gelap penuh berbintang yang tiada atau sangat kurang pencemaran cahaya.\nTambah beliau lagi, negeri ini mempunyai keunikannya yang tersendiri berbanding dengan lokasi lain di Malaysia kerana langit malam negeri ini masih bebas cahaya yang merupakan antara aset menarik para pelancong untuk melihat pemandangan langit khatulistiwa menerusi pelancongan astronomi.\nProgram Jelajah Astronomi Pantai Timur Sabah yang berlangsung dari 31 Mei 2022 hingga 8 Jun 2022 bermula di Sandakan, seterusnya ke Lahad Datu dan berakhir di Tawau. Tujuannya adalah untuk menarik minat dan meningkatkan kefahaman masyarakat yang terdiri daripada pelbagai golongan etnik bagi mendalami bidang sains angkasa. Program ini dianjurkan oleh MOSTI melalui agensi di bawahnya, Planetarium Negara bersama-sama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah.\nYang Berhormat Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba turut melancarkan program \u201cSpace Insight Planetarium Golden Heart\u201d khusus untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) seperti cacat penglihatan, kerdil dan berkerusi roda pada majlis tersebut.\u00a0 Program ini bertujuan untuk memastikan golongan OKU di Malaysia mempunyai akses dan peluang yang sama bagi penyertaan penuh dalam masyarakat terhadap program pendidikan astronomi dan sains angkasa yang dilaksanakan.\nSementara itu, Planetarium Negara dan pelbagai agensi lain yang terlibat telah menyediakan pelbagai aktiviti sepanjang program jelajah ini. Antaranya ialah tayangan filem angkasa melalui mini planetarium, pencerapan matahari dan bintang, demonstrasi replika Mars Rover, penerokaan angkasa lepas melalui realiti maya, bengkel AstroRover oleh U-Science Universiti Malaysia Sabah, demonstrasi sains seperti pertunjukan cahaya oleh Petrosains, demonstrasi sains kimia oleh Jabatan Kimia Malaysia, dan aktiviti pencerapan objek angkasa oleh Dark Sky Malaysia.\nSelain itu, program ini juga menyediakan aktiviti interaksi guna tangan\u00a0untuk kanak-kanak seperti PlanetKids, Sembang Astronomi dan Siri Kuiz Astronomi.\nUntuk maklumat lanjut mengenai program Jelajah Astronomi Pantai Timur Sabah boleh didapati melalui Facebook rasmi Planetarium Negara atau melalui e-mel [email\u00a0protected]." "E-BECA Guna Teknologi Solar Bantu Merancakkan Industri Pengayuh Beca Terengganu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Terengganu \u2013 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melancarkan beca elektronik (e-BECA) yang menggunakan teknologi boleh dicas dengan menggunakan tenaga solar, semalam.\nProduk inovasi e-BECA yang dihasilkan ini mempunyai ciri mesra alam seperti menggunakan bateri yang boleh dicas dengan menggunakan kuasa solar dan boleh digerakkan dengan kelajuan 30 kilometer sejam. E-BECA juga dinaik taraf dengan menggunakan paparan skrin LED bagi penyampaian maklumat dan promosi serta dilengkapi dengan sistem audio menarik yang mampu merancakkan industri pelancongan di Kuala Terengganu.\nMenurut Timbalan Menteri MOSTI, Yang Berhormat Datuk Haji Amzad Hashim, penggunaan e-BECA bukan sahaja meringankan kudrat para pengayuh beca, malah mampu memendekkan masa perjalanan hingga 15 minit dan seterusnya dapat menambah baik pendapatan mereka.\nIdea e-BECA Terengganu tercetus menerusi inisiatif kerajaan di bawah Program Berimpak Tinggi 6 (HIP 6) \u2013 Inovasi Inklusif melibatkan SME Corporation Malaysia \u00a0yang bertindak sebagai pembiaya program utama dan MOSTI menerusi Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) selaku agensi pelaksana Pertandingan Inovasi Beca Terengganu 2021 yang berlangsung secara dalam talian.\nTambah beliau lagi, diharapkan e-BECA yang berteknologi tinggi, mesra pengguna dan bercirikan kebiasaan baharu ini bukan sahaja dapat memanfaatkan pengayuh beca yang sedia ada, malah dapat menarik minat golongan muda untuk menceburi bidang ini.\n(Sumber gambar: Facebook MOSTI)" "Merealisasikan Kempen Jalan Raya Bandar Selamat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam meniti arus pemodenan, umumnya masyarakat di seluruh dunia telah mula melabur secara besar-besaran dalam sistem pengangkutan bermotor, terutamanya kenderaan persendirian. Hal ini dapat diperhatikan melalui jalan raya di kebanyakan bandar hampir dipenuhi dengan kenderaan persendirian. Walaupun industri automobil ini banyak memberikan kelebihan kepada kehidupan manusia, namun tidak dapat dinafikan terdapat juga impaknya yang negatif seperti jumlah korban jiwa yang tinggi akibat kemalangan jalan raya.\nKetika negara mulai membangun kembali dengan lebih baik daripada kesan pandemik COVID-19, kini sudah tiba masanya untuk \u201cmengembalikan\u201d jalan di bandar kepada penduduknya. Sehubungan dengan itu, adalah penting untuk mengehadkan kelajuan kenderaan bermotor pada kelajuan yang selamat, terutamanya di jalan yang terdiri daripada pengguna seperti pejalan kaki dan penunggang basikal yang bercampur-campur dalam aliran trafik biasa.\nPada 17 Mei hingga 23 Mei 2021 yang lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bersama-sama Yayasan Persekutuan Automobil Antarabangsa telah melancarkan kempen keselamatan jalan raya, iaitu \u201cJalan untuk Kehidupan\u201d yang menggunakan slogan iklan #StreetforLife dan #Love30. Kempen ini mencadangkan agar kelajuan di kota raya, bandar dan kampung di seluruh dunia dihadkan kepada 30 kilometer per jam (km/jam) dengan menekankan keperluan untuk mencapai sasaran Sedekad Tindakan untuk Keselamatan Jalan Raya 2021 \u2014 2030. Hal ini sejajar dengan Deklarasi Stockholm pada bulan Februari 2020 yang menggariskan bahawa usaha untuk mengurangkan kelajuan memberikan kesan yang baik terhadap kualiti udara dan perubahan iklim. Selain itu, kematian dan kecederaan lalu lintas jalan raya juga dapat dikurangkan.\nSeperti yang telah dinyatakan dalam dokumen Pengurusan Kelajuan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lima tindakan untuk menjadikan \u201cJalan untuk Kehidupan\u201d adalah seperti yang berikut:\nNamun demikian, satu persoalan yang pasti timbul, apakah kebaikan dalam menetapkan had kelajuan kepada 30 km/jam?\nSecara umumnya, jalan berkelajuan rendah adalah satu landasan untuk membina kawasan yang selamat dan sihat, hijau dan selesa untuk didiami. Secara teorinya pula, had kelajuan 30 km/jam ini mampu untuk melindungi semua yang menggunakan jalan raya, terutamanya para pengguna jalan raya yang paling rentan seperti pejalan kaki, penunggang basikal, kanak-kanak dan orang tua serta orang kurang upaya. Hal ini secara tidak langsung boleh mengurangkan kadar kematian lalu lintas walaupun terdapat pencampuran di antara pengguna berkenderaan dan tanpa kenderaan. Di samping itu, aktiviti fizikal seperti berjalan kaki dan berbasikal dapat dipromosikan dengan lebih giat kerana jalan berada dalam keadaan selamat.\nSaban tahun, dianggarkan masing-masing seramai 1.35 juta dan 50 juta orang terbunuh dan cedera di seluruh dunia akibat kemalangan jalan raya. Daripada jumlah tersebut, kira-kira 3000 kanak-kanak dan remaja terbunuh atau cedera parah di jalan raya dunia setiap hari. Malaysia pula mencatatkan sebanyak 6167 kemalangan maut dengan 17 kematian setiap hari pada tahun 2019. Secara teknikalnya, seorang kanak-kanak yang dilanggar oleh sebuah kereta dengan kelajuan 30 km/jam masih dapat diselamatkan. Dalam satu kajian yang dilakukan, didapati bahawa pada kelajuan ini, sebanyak sembilan orang daripada sepuluh orang yang terlibat dalam kemalangan terselamat berbanding dengan hanya seorang daripada sepuluh orang yang terlibat dalam kemalangan yang terselamat pada had kelajuan 60 km/jam.\nHad kelajuan 30 km/jam ini juga sangat penting sebagai usaha dunia untuk beralih ke mobiliti sifar karbon. Jalan yang mempromosikan aktiviti berjalan kaki dan berbasikal yang selamat dapat mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian dan pelepasan bahan berbahaya daripada kenderaan yang menyumbang kepada kesan rumah hijau. Untuk melindungi alam sekitar, pengguna memerlukan jalan raya yang selamat serta berkelajuan rendah. Hal ini seterusnya mampu mendorong pengguna untuk memilih pengangkutan \u00a0yang lebih mampan.\nMenangani risiko kematian di jalan raya adalah perkara asas untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam hal yang menjejaskan keselamatan kesihatan, bandar mampan, kemiskinan dan mengurangkan ketidaksamaan dalam kalangan pelbagai negara. Polisi yang menangani kesan trafik, dan mewujudkan persekitaran untuk pilihan pengangkutan yang selamat, mampan dan inklusif juga membuka kunci tindakan untuk melindungi iklim dan kesaksamaan jantina.\nAnjakan paradigma dalam reka bentuk jalan raya perlu bermula dengan kelajuan kenderaan yang rendah dan menjadikan jalan raya selamat, mudah diakses, menyeronokkan dan saksama untuk semua pengguna. Hal ini sekaligus mampu memberikan pelbagai manfaat kepada semua sambil mempercepatkan tindakan merentas SDG yang saling berkait rapat di antara satu sama lain.\nKajian telah menunjukkan bahawa bandar besar telah berjaya mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya dengan pelaksanaan had dan zon kelajuan yang baharu ini. Di Toronto, Kanada misalnya, dikatakan bahawa kadar kemalangan jalan raya menurun sebanyak 28 peratus apabila had laju dikurangkan daripada 40 km/jam kepada 30 km/jam di samping berlakunya pengurangan sebanyak dua per tiga terhadap kecederaan serius dan maut akibat kemalangan jalan raya. Di Colombia, Bogota pula, negara tersebut telah melaksanakan had kelajuan 30 km/jam \u00a0dan berjaya mengurangkan kematian lalu lintas sebanyak 32 peratus.\nSementara itu, kajian di United Kingdom telah mendapati bahawa had kelajuan 30 km/jam dapat dikaitkan dengan pengurangan sebanyak 42 peratus dalam kemalangan jalan raya di London dan 63 peratus di Bristol antara tahun 2008 hingga 2016. Kajian lain pula menunjukkan bahawa terdapat pengurangan korban jalan raya hingga enam peratus bagi setiap pengurangan kelajuan 1.6 km/jam untuk jalan bandar. Walau bagaimanapun, menurut WHO, peningkatan purata kelajuan satu km/jam mengakibatkan risiko kemalangan sebanyak tiga peratus lebih tinggi dan peningkatan kadar kematian di antara empat peratus sehingga lima peratus.\nDokumen Pertubuhan Kesihatan Dunia mengenai pengurusan kelajuan turut mencadangkan beberapa perkara lain seperti penggunaan penenang lalu lintas, penetapan had laju yang sesuai dengan fungsi setiap jalan dan pemasangan teknologi dalam kenderaan juga perlu disediakan. Menurut Persekutuan Automobil Antarabangsa, pada masa sekarang ialah masa yang paling sesuai untuk mengurangkan kelajuan, sambil merancang pembinaan jalan yang memenuhi keperluan semua pengguna jalan raya dan menetapkan kelajuan lalu lintas yang selamat untuk semua orang.\nBaru-baru ini telah dilaporkan bahawa Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bakal mengemukakan cadangan konsep pelaksanaan had laju 30 km/jam di zon terpilih sekitar ibu negara dan 50 km/jam di zon lain kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Pihak MIROS mencadangkan had laju 30 km/jam di kawasan perumahan, bandar dan kampung sebagai sebahagian daripada perancangan keselamatan jalan raya kebangsaan untuk tahun 2021 hingga tahun 2030. Cadangan ini juga mendapat maklum balas yang positif daripada pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT). Walaupun masih berada dalam peringkat cadangan, namun usaha ini perlu dllihat sebagai suatu langkah terpuji dalam meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya di negara ini.\nPengalaman telah menunjukkan bahawa kelajuan 30 km/jam bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa, bahkan juga mendorong komuniti setempat untuk berjalan kaki, berbasikal dan seterusnya menuju ke arah pergerakan sifar-karbon. Tambahan pula, hak orang kurang upaya dan warga tua dapat dikembalikan kerana jalan raya yang selamat dapat mewujudkan ruang awam yang lebih terangkum untuk semua golongan. Tindakan yang dilaksanakan pada hari ini akan mempengaruhi persekitaran terbina dan kualiti hidup selama beberapa dekad akan datang.\n\u00a0\nProfesor Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff\u00a0 ialah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor.\nDr. Ahmad Yusri Mohamad ialah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang." "Malaysia Gesa Kerjasama daripada Negara Pengeksport Sisa Berbahaya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2013 Malaysia menggesa kerjasama yang lebih baik daripada negara pengeksport sisa berbahaya dalam Mesyuarat Peringkat Tinggi Persidangan Konvensyen Basel, Rotterdam dan Stockholm serta Mesyuarat Antarabangsa Stockholm, Sweden di Stockholm, Sweden yang berlangsung pada 1 Jun hingga semalam.\nMenurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Yang Berhormat Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan medianya semalam, Malaysia menghadapi cabaran untuk mendapat kerjasama daripada negara pengeksport untuk mengambil semula sisa mereka.\n\u201cMalaysia menegaskan bahawa tiada negara yang patut menjadi tempat pembuangan sisa dari negara lain,\u201c katanya lagi.\nSementara itu, Malaysia telah menyatakan komitmen dan sokongan terhadap inisiatif dan kawalan ke atas pengurusan sisa dan bahan kimia berbahaya yang selamat kepada kesihatan manusia dan alam sekitar di peringkat global.\nTambahnya lagi, Malaysia telah mewujudkan kerangka perundangan dan dasar negara ke arah pengurusan sisa berbahaya dan juga sisa lain secara mesra alam.\nDalam konvensyen tersebut, Malaysia turut\u00a0 menegaskan akan kepentingan menguruskan stok simpanan bahan kimia secara mesra alam agar hal ini tidak menjadi isu baharu bagi negara membangun pada masa hadapan." "Penjagaan Alam Sekitar Perlu Bermula daripada Diri Sendiri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Bersempena dengan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022, sebuah webinar khas telah dianjurkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) pada pagi ini bagi menyemarakkan semangat rasa kecintaan kepada alam sekitar.\nWebinar yang berlangsung secara dalam talian melalui aplikasi Zoom dan siaran langsung Facebook KASA ini menampilkan Profesor dan Pengarah Eksekutif Sunway Centre for Planetary Health, Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood dan ahli perniagaan merangkap selebriti terkenal negara, Dato\u2019 Sri Siti Nurhaliza, manakala Ketua Setiausaha KASA, Yang Berbahagia Dato\u2019 Seri Ir. Dr. Zaini Ujang bertindak selaku moderator webinar tersebut.\nMenurut Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, setelah 50 tahun sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia diadakan, usaha untuk memelihara alam sekitar ada pasang surutnya. Kemusnahan dan kebinasaan alam sekitar di Malaysia kebanyakannya bukan berlaku secara semula jadi, walaupun tidak dinafikan faktor tersebut turut menyumbang kepada faktor tersebut.\nTambah beliau lagi, Malaysia juga antara negara yang tidak terkecuali mengalami fenomena pemanasan global hingga terdapat beberapa kawasan yang mengalami kemarau sehingga menjejaskan pengeluaran makanan negara.\nTerdapat sembilan indikator batasan planet yang boleh diukur untuk menunjukkan tahap kesihatan planet. Lima daripada indikator tersebut sudah melepasi sempadan amaran, iaitu aliran biogeokimia, integriti biosfera, perubahan sistem tanih, perubahan iklim, dan yang terkini ialah pencemaran entiti baharu. Empat lagi batasan planet, iaitu penggunaan air tawar, pengasidan lautan, peratusan aerosol dalam udara, dan penipisan lapisan ozon masih berada pada bawah paras yang membimbangkan buat masa ini.\nBeliau juga mengatakan bahawa dalam membangunkan sesebuah negara, kita tidak boleh melebihi batas keselamatan alam sekitar. Ekonomi donut mampu bertindak sebagai kerangka kesejahteraan pembangunan ekonomi, alam sekitar dan sosial yang boleh digunakan dalam menyeimbangkan segala faktor dalam kehidupan manusia.\nJelas beliau lagi, ekonomi donut ini juga sangat berkaitan dengan Maqasid al-Syariah. Bahkan, penerapan kerangka Maqasid al-Syariah adalah sangat selari dengan idea Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Tambahan pula, masyarakat juga sebenarnya boleh belajar daripada kehidupan nenek moyang dan orang asal di negara ini dalam aspek memelihara alam sekitar.\nSetiap pembangunan dan projek yang dijalankan perlu mengambil kira perubahan iklim dalam jangka masa yang lebih panjang. Pembangunan berdaya tahan iklim ini merupakan kriteria yang diambil daripada konsep kesihatan planet. Masalah bagi kebanyakan negara di dunia ialah pelantikan ahli politik hanya dalam jangka masa yang singkat sehingga menyukarkan perancangan pembangunan jangka masa panjang yang mampan bagi sesebuah negara.\nSelain itu, beliau juga mengatakan bahawa setiap pembangunan yang dijalankan memerlukan penilaian alam sekitar, jangkaan yang bakal berlaku, pelibatan masyarakat, dan demystify science\u00a0melalui pelbagai simulasi, ilustrasi dan sebagainya bagi menambahkan lagi kefahaman masyarakat.\nDapatan terbaharu juga menunjukkan bahawa darah manusia kini sudah mempunyai mikroplastik dan boleh menyebabkan berlakunya kanser.\nMengulas dengan lebih lanjut, beliau mengatakan bahawa penguatkuasaan undang-undang di negara ini masih lemah walaupun telah banyak polisi yang dikeluarkan berkaitan dengan alam sekitar. Oleh itu, masyarakat perlu menjaga alam sekitar, yakni bermula dengan diri sendiri kerana kita hanya mempunyai satu bumi.\nSementara itu, sebagai seorang selebriti, Dato\u2019 Sri Siti Nurhaliza menyatakan bahawa beliau juga mempunyai tanggungjawab dalam menyedarkan masyarakat tentang penjagaan alam sekitar. Sebagai contohnya, antara usaha yang boleh dilakukan ialah dalam menghasilkan lagu yang berkaitan dengan alam sekitar. Beliau turut berkongsi lagunya yang bertajuk Sanggar Bayu yang berkisarkan alam sekitar.\nMenurut beliau, aktiviti berbasikal juga mampu mendekatkan diri dengan alam sekitar kerana kita dapat melihat kawasan alam semula jadi secara lebih dekat, sama ada kawasan tersebut bersih ataupun sebaliknya.\nDalam usaha menyelamatkan bumi, keprihatinan setiap pihak adalah perlu. Selebriti boleh memainkan peranan dengan menyeru dan mengajak para peminat serta pengikut mereka untuk memelihara alam sekitar seperti dengan melakukan aktiviti bercucuk tanam di rumah dan sebagainya.\nSeterusnya, Yang Berbahagia Dato\u2019 Seri Ir. Dr. Zaini Ujang mengakhiri webinar tersebut dengan mengajak masyarakat melakukan aktiviti mengutip sampah sambil beriadah sebanyak empat kali sebulan di kawasan tempat tinggal masing-masing, tidak menggunakan plastik sekali guna dan berbasikal sejauh 100 kilometer sebulan untuk pergi ke kawasan yang berdekatan.\nHari Alam Sekitar Sedunia disambut pada 5 Jun setiap tahun bagi meningkatkan tahap kesedaran masyarakat dunia terhadap isu alam sekitar serta mempertingkatkan tindakan dan penglibatan terhadap perubahan alam sekitar. Pada tahun ini, tema bagi Hari Alam Sekitar Sedunia ialah \u201cHanya Satu Bumi\u201c." "Bersediakah Malaysia untuk Industri Kenderaan Elektrik?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKenderaan elektrik (EV) bukanlah suatu modul perniagaan yang baharu. Di Eropah dan Amerika Syarikat, industri EV sudah bertapak lebih daripada 10 tahun. Namun demikian, penjualan EV dikatakan masih lagi rendah. Norway kini dilihat sebagai negara yang mempunyai penjualan EV yang paling tinggi, iaitu dengan nisbah satu EV bagi setiap 100 kenderaan penumpang yang terjual. Hal ini diikuti dengan negara Estonia yang mempunyai stesen pengecas bateri di merata-rata pelosok negaranya dengan jarak minimum antara stesen pengecas antara 40 kilometer hingga 60 kilometer.\nAmerika Syarikat pula berjaya menjual sebanyak 290 ribu unit EV sejak dari tahun 2008. Hal ini menjadikan negara ini sebagai negara terbesar pengguna EV, iatu kira-kira 41 peratus daripada penjualan dunia untuk EV. Di peringkat serantau pula, China mendominasi industri EV di peringkat global. Pasaran China merupakan pasaran terbesar dunia sejak tahun 2015 dan terus kukuh sejak itu. Menurut Kementerian Keselamatan Awam China, terdapat hampir lima juta unit EV berada di atas jalan raya setakat bulan Disember 2020. Lebih daripada 90 peratus bas elektrik dan trak elektrik dunia digunakan di China. Daripada 3.24 juta kenderaan elektrik yang dijual di seluruh dunia, 1.33 juta unit adalah dijual di pasaran China.\nSementara itu, Kerajaan Malaysia telah melaksanakan persediaan ke arah peralihan penggunaan EV sejak beberapa tahun lalu. Sebagai antara negara pertama membangunkan ekosistem EV di rantau ASEAN, pelbagai dasar dan inisiatif dilaksanakan kerajaan untuk memacu dan merancakkan pelaburan dalam industri kenderaan alaf baharu ini bagi memastikan negara kekal di landasan ke arah peneraju serantau industri ini. Kerajaan komited untuk menarik dan menggalakkan pelaburan industri EV demi merealisasikan aspirasi Malaysia dalam mencapai 15 peratus jumlah volum industri untuk EV dan hibrid menjelang tahun 2030. Hal ini adalah suatu aspirasi yang besar dan memerlukan sokongan yang kuat dari pelbagai segi untuk menjayakannya.\nPada penghujung tahun lepas, Roland Berger dalam laporan Radar Distruktif Automotif mendedahkan bahawa Thailand dan Indonesia berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi hab ekosistem EV di ASEAN. Menurut laporan itu, Thailand sedang mempertingkatkan pertumbuhan EV dengan melaksanakan pembangunan infrastruktur dan dasar bersesuaian.\nKerajaan Thailand menerusi Jawatankuasa Dasar Kenderaan Elektrik Kebangsaan telah menetapkan dasar EV baharu yang memberikan penekanan jelas mengenai kenderaan sifar emisi (ZEV). Dasar itu direka bagi membolehkan 50 peratus kenderaan yang dihasilkan di Thailand adalah ZEV menjelang akhir dekad ini dan mencapai hingga 100 peratus pada tahun 2035. Sementara itu, kerajaan Indonesia mengumumkan strategi nasional dengan sasaran untuk mencapai 2.2 juta EV dan 13 juta motosikal elektrik di atas jalan raya menjelang tahun 2030.\nDi Malaysia, pengumuman dalam Bajet 2022 yang merangkumi pelepasan duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi EV diharapkan dapat melonjakkan sentimen pengguna ke arah penggunaan EV di masa terdekat. Sesungguhnya, anjakan ke arah industri EV ini bukan hanya tertakluk kepada penjualan dan pengilangan kereta atau bateri semata-mata, tapi memerlukan pembangunan menyeluruh dari segi pemasaran, stesen pengecasan, penjanaan kuasa, modal insan, perkhidmatan selepas jualan dan banyak lagi.\nDi samping itu, dasar dan pelan hala tuju yang digubal pihak berwajib perlu berfungsi serentak dalam melengkapkan ekosistem yang diperlukan bagi penggunaan dan penghasilan EV yang berkesan dan mampan. Antara dasar dan inisiatif EV yang akan dilaksanakan adalah membangunkan kemudahan yang komprehensif seperti stesen dan sistem pengecasan, penyambung dan salur masuk, piawaian ujian bagi bateri litium ion, pertukaran bateri, pengecasan tanpa wayar, pengitaran dan pembuangan bateri selain melihat kepada keperluan dasar tenaga.\nKeperluan dasar tenaga adalah penting bagi memastikan aspek berkaitan bekalan elektrik negara kelak mampu untuk menampung keperluan pengguna EV. Selain itu, terdapat beberapa inisiatif lain seperti membangunkan Sistem Pengurusan Bateri dan Electric Vehicle Interoperability Centre (EVIC), iaitu sebuah pusat pengujian yang membolehkan pembangunan bersama bagi EV dan teknologi berkaitan komponen dan sistem EV di masa hadapan.\nPada bulan Februari lalu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman untuk membenarkan TNB mengambil bahagian bersama-sama Malaysia Automotive, Robotics and IOT Institute, iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam menubuhkan EVIC di Cyberjaya termasuk dalam pembahagian tenaga dan rangkaian grid, bagi mewujudkan garis panduan pengembangan penggunaan EV di seluruh negara.\nMelalui Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030, Kerajaan Malaysia menyasarkan untuk mewujudkan sekurang-kurang 10 ribu infrastruktur pengecasan EV menjelang tahun 2025. Bagi mencapai sasaran itu, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) memainkan peranan dalam usaha mewujudkan kerjasama awam dan swasta bagi memacu pembangunan infrastruktur stesen pengecasan EV yang sedia ada serta yang baharu. Buat masa ini, terdapat kira-kira 300 stesen pengecasan EV hasil kerjasama yang diwujudkan oleh MGTC. Ketika ini, dianggarkan jumlah keseluruhan stesen pengecasan sedia ada untuk pengguna EV di Malaysia adalah sekurang-kurangnya 600 stesen pengecasan EV.\nSelain itu, Kerajaan Malaysia turut menyediakan insentif cukai dan bantuan kewangan kepada syarikat yang ingin membina infrastruktur berkenaan. Antaranya ialah pengecualian cukai pendapatan melalui galakan taraf perintis atau elaun cukai pelaburan bagi aktiviti perkhidmatan teknologi hijau, termasuklah stesen pengecasan EV. Kerajaan turut menawarkan kemudahan pembiayaan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau 3.0 bagi menyokong pelaburan lestari dan bertanggungjawab serta menggalakkan amalan standard lestari di Malaysia. Insentif pelepasan cukai pendapatan individu hingga RM2500 juga disediakan bagi kos pemasangan, sewaan dan pembelian, termasuk sewa beli peralatan serta yuran langganan kemudahan pengecasan EV.\nKejayaan dasar dan usaha kerajaan dalam membangunkan industri EV diterjemahkan melalui pelaburan syarikat ke dalam industri ini. Sebagai contohnya, dua syarikat besar yang berpangkalan di Korea Selatan, iaitu SK Nexilis dan IMM Technology telah melabur di Malaysia bagi menghasilkan electro-deposited copper foil yang digunakan sebagai komponen bagi bateri EV.\nLangkah kerajaan melaksanakan insentif dalam memacu industri EV menerusi Bajet 2022 disifatkan sebagai pemangkin bagi menjana permintaan serta pasaran kenderaan sedemikian. Insentif berkaitan EV itu juga akan menyokong pembangunan teknologi hijau dan rendah karbon serta pekerjaan hijau berkemahiran tinggi di Malaysia. Insentif kenderaan EV dilihat mampu menyokong pelaksanaan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon serta membantu meningkatkan indeks kualiti udara negara.\nPenerimaan EV dalam kalangan pengguna bukanlah semudah yang disangka. Pelbagai faktor perlu diambil kira pengguna sebelum beralih kepada EV. Faktor harga adalah halangan utama. Kereta jenis elektrik masih berharga agak mahal dan premium jika dibandingkan dengan kereta dengan enjin pembakaran dalam. Walaupun terdapat promosi rebat dan diskaun diberikan kerajaan kepada pembeli, harga asas kereta jenis elektrik kekal tinggi dan mungkin tidak mampu dibayar pembeli biasa yang masih mementingkan aspek praktikaliti, tujuan penggunaan dan bajet pembelian sebuah kereta. Kepada pelanggan mewah, harga EV mungkin tidak menjadi masalah.\nEV juga memerlukan perubahan daripada segi cara penggunaan kenderaan kerana kenderaan ini mempunyai bateri yang perlu dicas. Setiap cas akan mengambil masa antara dua jam hingga lapan jam. Perjalanan jauh pastinya menjadi cabaran yang perlu ditempuhi pemandu EV. Mereka perlu merancang perjalanan dengan baik kerana kawasan tertentu atau terpencil berkemungkinan tidak mempunyai stesen pengecas bateri. Limitasi infrastruktur stesen pengecas bateri sedikit sebanyak merisaukan bakal pemilik EV dan boleh menyebabkan stres.\nDengan pelbagai persediaan yang dilakukan kerajaan dan beberapa faktor halangan untuk pemilikan EV, persoalannya ialah adakah pasaran Malaysia sudah bersedia untuk menerima \u201czaman\u201d EV?" "Kriteria Baharu Digunakan dalam Penentuan Tarikh Hari Raya Aidilfitri Tahun Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Perpustakaan Alam dan Tamadun Melayu dengan kerjasama Insitut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Persatuan Falak Syari\u2019i Malaysia telah menganjurkan webinar berjudul \u201cRaya Terkejut: Ikut Rukyah atau Hisab?\u201d pada pukul 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari tadi.\n\nWebinar yang diadakan secara dalam talian ini menampilkan Dr. Kassim Bahali, Felo Tamu ATMA selaku ahli panel dan Profesor Madya Dr. Nazri Muslim, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Jaringan), Pusat Pengajian Citra, UKM yang bertindak selaku moderator dan\nDalam webinar tersebut, Dr. Kassim Bahali memulakan slot perbincangan dengan menerangkan maksud rukyah dan hisab serta kepentingan kedua-duanya. Menurutnya,\nRukyah ialah mencerap atau mengamati hilal, iaitu fasa bulan selepas ijtimak atau selepas bulan melengkapkan satu edaran sinodis mengelilingi bumi. Hilal adalah sebahagian kecil dari permukaan bulan yang bercahaya yang kelihatan seperti satu lengkuk cahaya yang halus, sama ada dengan mata kasar atau alat optik seperti teodolit, binokular dan teleskop.\nTambahnya lagi, kaedah hisab pula ialah kiraan atau hitungan bagi menentukan awal bulan Hijrah. Hal ini boleh dijelaskan dengan penggunaan rumus matematik yang tertentu waktu ghurub matahari, bulan, altitud hilal, jarak lengkung, azimut, umur hilal dan lain-lain.\n\u201cDi Malaysia, penentuan awal bulan dengan kaedah hisab berdasarkan kriteria tertentu dinamakan sebagai Kriteria Imkanur Rukyah. Di samping itu, kaedah ini juga digunakan dalam pembinaan takwim Hijrah,\u201d jelasnya lagi.\nSebelum merdeka hingga tahun 1970, kaedah rukyah telah diguna pakai dalam penentuan awal puasa dan Syawal di Malaysia, iaitu sama ada hilal kelihatan atau tidak pada petang rukyah. Tiga lokasi yang dipilih sebagai tempat rasmi rukyah ialah di Teluk Kemang, Negeri Sembilan; di Johor Bahru, Johor; dan di Kampung Pulau Sayak, Kedah.\nSelepas itu, pada tahun 1970 hingga 1977, Malaysia beralih kepada kaedah hisab, yang merujuk hilal Ramadan dan Syawal sekiranya tidak kelihatan pada halnya mengikut kiraan ahli falak, hilal itu tetap ada dan jelas kelihatan, maka kiraan ahli falak diguna pakai. Walaupun kaedah hisab diterima, amalan rukyah masih diteruskan bagi memenuhi tuntutan syarak.\nPada tahun 1977 hingga 1982 pula, Malaysia memlilih kaedah rukyah. Sekiranya hilal Ramadan dan Syawal tidak kelihatan kerana dilindungi awan tetapi kiraan falak mengesahkan kehadirannya, maka kiraan falak boleh digunakan. Seandainya cuaca baik dan hilal tidak kelihatan, maka disempurnakan bulan itu selama 30 hari.\nTahun 1983 hingga 1992 menyaksikan bermulanya Malaysia memilih kaedah rukyah dan hisab. Malaysia turut menggunakan syarat dan kriteria dalam Resolusi Istanbul 1978, iaitu kedudukan matahari dan bulan waktu matahari terbenam tidak kurang daripada lapan darjah. Ketinggian hilal pada ketika matahari terbenam tidak kurang daripada lima darjah.\nSeterusnya, Malaysia meneruskan kaedah rukyah dan hisab pada tahun 1992 hingga 2021 dengan mengambil syarat hilal boleh kelihatan ketika matahari terbenam, ketinggian bulan tidak kurang daripada dua darjah dan jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang daripada tiga darjah atau ketika bulan terbenam, umur hilal tidak kurang daripada lapan jam selepas ijtimak (kedudukan bulan, bumi dan matahari yang berada dalam satu garisan meridian yang sama) berlaku.\nSeterusnya, pada tahun 2021 hingga kini, kriteria baharu yang diguna pakai ialah altitud (ketinggian) hilal dari ufuk sekurang-kurangnya tiga darjah ketika ghurub matahari dan jarak lengkung matahari dan bulan sekurang-kurangnya 6.4 darjah.\nDr. Kassim Bahali menjelaskan bahawa Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri adalah berdasarkan kaedah rukyah dan hisab. Jawatankuasa Rukyah bagi setiap negeri yang diperkenankan oleh raja-raja atau Yang Dipertuan Agong (untuk negeri yang tidak mempunyai sultan) terdiri daripada mufti kerajaan negeri selaku ketua, hakim mahkamah tinggi syariah negeri, pengarah jabatan agama islam negeri, pengarah ukur negeri, kadi besar, pegawai agama daerah dan pegawai falak jabatan mufti negeri.\n\u201cTerdapat 29 lokasi melihat hilal di seluruh Malaysia yang diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja. Seterusnya, jawatankuasa melihat hilal dan laporan kenampakan diserahkan kepada ketua jawatankuasa dan kemudiannya akan diserahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja sebelum dipersembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong. Setelah mendapat perkenan, maka Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengumumkan tarikh bermulanya puasa atau hari raya,\u201d ujarnya.\nDalam webinar ini juga, Dr. Kassim Bahali turut menjawab persoalan isu \u201craya terkejut\u201d pada tahun ini melalui ulasan secara teknikal kedudukan hilal dan matahari serta perbandingan Kriteria Imankanur Rukyah.\n\u201cHilal tidak kelihatan di semua tempat cerapan kecuali di Labuan. Maka itu sudah cukup digunakan dalam penentuan tarikh Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada hari Isnin, berbanding dengan paparan dalam kalendar, iaitu pada hari Selasa.\u201d" "DBP Teroka Usaha Pendigitalan Produk dan Perkhidmatan dengan Futurise Sdn. Bhd.\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) buat julung kalinya telah mengadakan kunjungan hormat ke Futurise Sdn. Bhd. bagi meneroka ruang dan peluang dalam usaha untuk merancakkan pendigitalan produk dan perkhidmatannya. Kunjungan hormat ini diketuai oleh Yang Berbahagia Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Ketua Pengarah DBP dan beberapa orang ketua bahagian serta pegawai kanan DBP.\nFuturise Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan Malaysia, iaitu anak syarikat Cyberview Sdn. Bhd. yang memberikan tumpuan kepada inovasi, pengawalseliaan dan pengkomersilan. Syarikat ini telah diberikan mandat oleh kerajaan Malaysia melalui Majlis Pembangunan Negara (MPN) untuk menerajui inisiatif Kawal Selia Sandbox Negara (NRS) yang bertujuan untuk mempercepat proses kawal selia, menggunakan penyelesaian inovasi dan teknologi serta mewujudkan ekosistem inovasi baharu. Usaha ini sekali gus akan menggalakkan pembangunan dan mempercepat kerjasama dalam kalangan usahawan, syarikat, pengawal selia dan kerajaan khususnya dari aspek ekonomi masa hadapan serta dapat meningkatkan daya saing Malaysia melalui penggubalan dasar yang dipacu oleh inovasi.\nInisiatif NRS telah dilancarkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan Oktober 2016 yang bertujuan untuk menyediakan persekitaran pengawalseliaan yang kondusif bagi penggunaan fintech dan untuk menggalakkan inovasi secara menyeluruh dalam sektor kewangan di Malaysia. Memandangkan kemajuan fintech telah mendorong kepada pembentukan model dan penyelesaian perniagaan yang baharu, inisiatif ini dapat menggalakkan inovasi dan penyampaian khidmat kewangan dengan memberikan fleksibiliti pada penyelesaian fintech yang menawarkan nilai sebenar untuk diuji dalam persekitaran pengeluaran atau persekitaran sebenar.\nDalam kunjungan hormat ini, delegasi DBP telah diberikan taklimat oleh pihak Futurise Sdn. Bhd. tentang fungsi dan teknologi yang dilaksanakannya untuk membentuk masa hadapan Malaysia melalui Medan Ujian Regulatori Negara atau singkatannya MURN. Antara komponen utama fungsi yang dilaksanakan oleh Futurise Sdn. Bhd. seperti yang telah dimandatkan dalam MPN Bil.6/2019 (mandat diperbaharui oleh Kerajaan Malaysia pada Bajet Malaysia 2022) adalah melibatkan empat perkara, iaitu Menerajui Inisiatif MURN, Pengajian Industri, Mempercepat Inovasi dalam Masyarakat dan Kemudahan Menjalankan Perniagaan.\nSelain diberikan taklimat ringkas oleh pihak syarikat berkaitan dengan fungsi dan tanggungjawabnya, delegasi DBP juga turut diberikan penerangan ringkas oleh dua buah anak syarikatnya yang lain, iaitu Drone Academy Asia dan eMooVit Technology Sdn. Bhd. tentang perkhidmatan dan teknologi yang telah dibangunkan, iaitu berkaitan dengan industri dron serta kejuruteraan kenderaan autonomi di Malaysia. Delegasi DBP turut dibawa untuk menyaksikan simulasi pengoperasian dron yang diadakan di ruang latihan dron serta dibawa menaiki kenderaan autonomi yang telah dibangunkan oleh syarikat tersebut.\nKunjungan hormat ini secara tidak langsung membolehkan DBP meneroka peluang untuk memperhebat dimensi baharu pendigitalan produk dan perkhidmatan yang boleh disajikan kepada masyarakat khasnya, di samping dapat meninjau ruang kerjasama yang mungkin terjalin dengan pemain industri seperti Futurise Sdn. Bhd.\nPada akhir sesi kunjungan, Yang Berbahagia Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg Shokeran telah menyampaikan cenderamata kepada Ketua Pegawai Eksekutif Futurise Sdn. Bhd., Tuan Rosihan Zain Baharudin sambil disaksikan oleh pihak pengurusan tertinggi syarikat Futurise Sdn. Bhd., Tuan Ts. Tengku Azrul Tengku Azhar dan Puan Azrita Abdul Kadir." "Bahasa Indonesia Tetap Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Penggunaan bahasa Indonesia sebagai bahasa rasmi rantau ini tidak sepatutnya menjadi isu kerana pada asasnya bahasa ini daripada satu bahasa, iaitu bahasa Melayu. Menurut Felo Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, bahasa Indonesia yang kini mahu dianggap sebagai bahasa tersendiri atau bahasa baharu dengan menafikan bahasa Melayu sebagai asasnya, dengan mengaitkan kosa katanya yang banyak dipinjam itu bukan sahaja tuntutan meleset, malah bahasa tersebut sama sekali tidak benar apabila diteliti secara ilmiah.\nSifat campuran kosmopolitan yang dimiliki oleh bahasa Indonesia pada kosa katanya, seperti yang dihujahkan oleh Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa, agensi kebahasaan unggul di Republik itu sebagai \u2018dalil\u2019 untuk menyatakan bahasa itu tidak sama lagi dengan bahasa Melayu yang merupakan induk awalnya, seperti yang masih dituturkan di beberapa daerah oleh etnik Melayu di Indonesia, waima di luar Indonesia, antaranya termasuklah Malaysia, Singapura dan Brunei, sama ada sebagai bahasa etnik Melayu ataupun bahasa negara.\nKatanya, pandangan sosiolinguistik begini tidak terpakai walaupun bahasa itu merupakan nasionalisme linguistik bahasa Indonesia yang bukan sahaja tulen tetapi berkobar-kobar lagi dengan rasa bangga, cinta dan setia akan bahasa yang amat luar biasa. Hal ini demikian kerana faktor linguistik sahaja yang berupa wadah pengenalpastian jitu untuk menentukan pertalian kekeluargaan sesuatu bahasa itu dengan yang lain.\nOleh itu, disiplin linguistik perbandingan digunakan untuk memastikan hubungan genetik antara bahasa Indonesia yang didakwa sebagai banyak mencapah sehingga boleh dianggap sebagai bahasa yang tidak sama lagi dengan bahasa Melayu yang memang diakui sebagai sumber asalnya.\n\u00a0\n\nMenurut Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo lagi, walaupun dengan ribuan kata pinjaman itu, bahasa Indonesia disahkan tanpa sebarang keraguan sebagai bahasa Melayu berdasarkan beberapa kriteria linguistik. Antaranya termasuklah kata asasnya, iaitu bilangan kecil dalam bentuk angka 1 hingga 10, rujukan bahagian badan seperti hidung serta panggilan kepada kegiatan dasar seperti makan, selain nama untuk unsur alam seperti air.\n\u00a0\nSelanjutnya, bahasa Indonesia yang semacam mahu didakwa sebagai jauh lebih moden daripada bahasa Melayu, hanya merupakan bahasa daerah tertentu sahaja di Indonesia, yang bukan sahaja masih memiliki tetapi tetap utuh menggunakan semua ciri asas dan yang asal juga yang ada pada struktur bahasa Melayu di mana-mana tempat sahaja, baik dari segi fonetik, fonologi, morfologi mahupun sintaksisnya.\n\u201cOleh itu, bahasa Indonesia akan tetap berupa bahasa Melayu kerana sistem linguistiknya ialah sistem bahasa Melayu. Antaranya termasuklah morfologi derivatif menerusi proses pengimbuhan untuk menghasilkan kata, misalnya berpotensi, memfavoritkan dan penstabilan daripada kata pinjaman Inggeris, iaitu potential, favourite dan stable,\u201d katanya lagi.\nFaedah Bersama antara Semua Pihak\nDalam pada itu, sasterawan dan budayawan tanah air, Dr. Lim Swee Tin sangat optimis bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ASEAN disebabkan negara anggota pertubuhan ini banyak yang menggunakan bahasa Melayu, selain Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam, Selatan Thailand dan Selatan Filipina.\nSelain itu, bahasa\u00a0 Indonesia yang dimaksudkan itu terlalu luas sifatnya yang meliputi bahasa-bahasa daerah dan wilayah yang sangat berbeza. Tidak timbul isu terjejasnya keharmonian kesan daripada Malaysia membangkitkan cadangan ini, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN. Persoalan tentang isu kebahasaan masih boleh dicari jalan penyelesaiannya yang tidak menggeserkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.\nJika dilihat dari sudut pencapaian, andai berjaya kelak cadangan ini menjadi kebanggaan kedua-dua negara, iaitu Malaysia dan Indonesia. Tidak timbul persoalan siapa-siapa yang membolot faedahnya. Kedua-dua negara seharusnya bersepakat memperjuangkan hasrat ini.\nMenurut Dr. Lim Swee Tin, jika kembali kepada hakikat sejarah pertumbuhan dan perkembangan bahasa serumpun, tidak adanya keperluan yang diutamakan untuk meletakkan bahasa Melayu atau bahasa Indonesia sebagai terulung di rantau sebelah sini.\nSesungguhnya Malaysia telah lama berjaya membakukan bahasanya sehingga menjadi bahasa kebangsaan yang diterima seluruh rakyat. Kenyataan ini tidak dinikmati oleh banyak negara lain yang bahasanya sukar disatukan apabila masing-masing pemilik bahasa mempertahankan hak dan ingin mendaulatkannya oleh ciri kedominanannya." "Buku Unsur Etnosains Matematik Malayonesia Jilid II dan III dilancarkan di PBAKL hari ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Buku Unsur Etnosains Matematik Malayonesia Jilid II dan III yang mengetengahkan penyelidikan etnosains matematik di Malaysia dalam bahasa Melayu telah dilancarkan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022, hari ini.\nBuku yang dihasilkan oleh Kumpulan Penyelidik Etnomatematik Malaysia, Universiti Putra Malaysia yang diketuai oleh editor buku ini, YBhg. Profesor Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain bersama-sama tiga orang lagi penulis yang menyumbang bab dalam buku ini, iaitu YBrs. Profesor Madya Dr. Baharrudin Zainal, YBrs. Dr. Mat Rofa Ismail, dan YBrs. Dr. Muhammad Alinor Abdul Kadir membuktikan bahawa tamadun Malayonesia atau tamadun alam Melayu telah banyak menzahirkan ilmu peribumi yang dapat digali, diangkat dan diketengahkan sebagai sumbangan kepada ilmu sedunia.\n\nDalam ucapan perasmian, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kumpulan penyelidik ini kerana telah mengusahakan suatu gerak kerja yang cukup penting dan memberikan satu nilai tambah yang besar kepada senario ilmu dalam bahasa Melayu.\nApabila membicarakan tentang warisan tamadun, kita perlu mempunyai bukti dan bukan sekadar suatu retorik kosong atau kemegahan tanpa bukti. Etnosains itu tidak terbatas hanya kepada soal sains, tetapi fahamilah bahawa sains itu mencakupi seluruh kehidupan bertamadun seperti bahasa, falsafah, pengurusan, pemikiran, seni, ilmu falak, teknologi, perubatan, dan sebagainya.\nTambah beliau lagi, buku ini diharapkan dapat diteruskan dengan jilid yang seterusnya dan berkemungkinan boleh memiliki satu siri atau pakej etnosains Malayonesia hingga dapat dipromosikan sebagai suatu produk penting DBP serta bahasa Melayu khususnya.\nSementara itu, penulis dan pembicara buku ini, YBhg. Profesor Madya Dr. Baharrudin Zainal mengatakan bahawa buku ini membincangkan betapa tingginya tamadun Malayonesia dalam bahasa Melayu sejak abad kelima Masihi lagi dalam bidang astronomi, kosmologi, kosmogoni, dan kosmogenesis yang merujuk alam semesta serta ilmu logik atau mantik. Buku ini turut mengetengahkan wujudnya ilmu falak yang sepadan dengan istilah moden bidang ini, iaitu astronomi dan kosmologi, malah kosmogoni dan kosmogenesis yang mencerminkan betapa tingginya ketinggian tamadun berbahasa Melayu sebelum abad ke-20 Masihi.\nSelama ini tiada tulisan yang menonjolkan fakta ini, khususnya yang membuktikan adanya ilmu ini dalam karya yang berabad-abad lamanya dahulu hingga abad ke-19 Masihi.\nDalam buku ini juga dibincangkan penemuan dalam bidang etnomatematik dan etnosains yang membuktikan bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa ilmu sains dan matematik sejak abad ke-17 Masihi hingga abad ke-19 Masihi.\nMengulas dengan lebih lanjut, beliau mengharapkan buku ini mampu menyediakan bukti kekayaan ilmu yang terdapat dalam bahasa Melayu dalam bidang astronomi dan kosmologi antara abad ketujuh Masihi hingga abad ke-19 Masihi serta dapat mengukuhkan bukti wujudnya bangsa yang bertamadun sekali gus membuktikan ampuhnya kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sebelum penjajahan Eropah di rantau ini.\nMengakhiri ucapannya, beliau menyeru kepada sesiapa yang berminat untuk mendalami dan menjadikan etnosains ini sebagai suatu bidang kajian, buku ini merupakan sebuah buku rujukan yang terbaik untuk digunakan. Berdasarkan buku ini, pembaca dapat melihat manuskrip dalam bahasa lama dan bertulisan Jawi, penulisan tanpa rajah atau jadual serta penyataan secara naratif atau deskriptif yang hendak dijadikan nilai sains. Oleh yang demikian, kajian perlu dilakukan agar dapat mengeluarkan nilai sains itu serta mempersembahkannya dalam bentuk penulisan untuk kegunaan masyarakat.\nTurut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Ketua Pengarah Operasi DBP, YBrs. Tuan Haji Abd Halim Haji Harun, Ketua Editor Bahagian Buku Umum, Encik Mohd Azahari Edin, Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa, YM Tengku Fauziah Ku Mat, Felo Penyelidik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) merangkap editor buku ini, YBhg. Profesor Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain serta Pengerusi Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran Malaysia merangkap penulis buku ini juga, YBrs. Dr. Muhammad Alinor Abdul Kadir." "Pelindung Mergastua Terokai Khazanah Tersembunyi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cJika dibandingkan antara hutan di negara kita dengan hutan di luar negara jelas menunjukkan keindahannya yang tersendiri. Tidak dinafikan bahawa hutan di luar negara sememangnya cantik ditambah pula dengan pokok pain dan pokok oak, namun begitu hutan di sana tidak memiliki spesies haiwan yang banyak seperti hutan di negara kita yang kaya dengan biodiversiti,\u201c ujar YBhg. Tuan Haji Jasmi Abdul, mantan Timbalan Ketua Pengarah (Pemuliharaan) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) dalam program Bicara Buku Memoir Pegawai PERHILITAN: Cerita dari Rimba yang berlangsung di Reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 hari ini.\nMenurut beliau, hutan di Malaysia memiliki banyak spesies haiwan seperti harimau, seladang, pelanduk, tapir, burung kelicap, dan sebagainya. Jika diperhatikan, spesies harimau di kebanyakan negara sudah pupus, namun begitu spesies harimau di Malaysia masih ada. Oleh sebab itu, masyarakat perlu memelihara khazanah alam ini.\nBeliau yang berpengalaman bertugas selama 29 tahun di PERHILITAN ini memiliki minat terhadap hidupan liar dan alam semula jadi sejak tinggal bersama-sama neneknya di kampung dan sering ke sawah padi untuk menangkap ikan dan ayam dengan rakan-rakannya.\nTambah beliau, penghasilan buku Memoir Pegawai PERHILITAN: Cerita dari Rimba merupakan himpunan 33 catatan pengalaman serta kisah benar yang dialami sepanjang tempoh perkhidmatannya di PERHILITAN.\nBeliau turut menyatakan bahawa seorang pegawai PERHILITAN bukanlah bererti duduk di pejabat atau di dalam hutan sahaja, tetapi merentasi pelbagai bidang dengan syarat mempunyai ilmu seperti ilmu tentang kehidupan liar, alam semula jadi dan pengurusannya.\nKerja sebegini tidak mudah kerana berisiko tinggi dan memerlukan tahap kesabaran yang tinggi bagi melancarkan proses penyelidikan, di samping mendekatkan diri dengan alam semula jadi serta mempelajari selok-belok hutan belantara negara yang kaya dengan khazanah tersembunyi.\nSementara itu, beliau turut berkongsi cabaran sepanjang perkhidmatannya, misalnya pernah dipijak oleh gajah, berlanggar bot dengan orang asli, hanyut di Sungai Tembeling, dan mengalami beberapa perkara mistik.\nJelas beliau lagi, sebagai seorang pegawai PERHILITAN dan seseorang yang cinta akan khazanah bumi, beliau berharap agar buku ini dapat dijadikan panduan dan pedoman kepada masyarakat, khususnya pegawai dan renjer PERHILITAN, di samping melonjakkan semangat kesedaran terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi di negara ini.\nSebelum mengakhiri program, beliau turut mempromosikan hasil karya penulisannya dengan kerjasama DBP, iaitu Ikan (1992), Mamalia (2002), Reptilia (2008), dan 25 Spesies Burung Liar Semenanjung Malaysia (2016) kepada para penonton.\nTurut hadir dalam program ini ialah Timbalan Ketua Pengarah Operasi DBP, YBrs. Tuan Haji Abd Halim Haji Harun, Ketua Unit Sains Kemanusiaan Bahagian Buku Umum, Encik Armin Azahari Saleh, Ketua Unit Sains dan Teknologi Bahagian Buku Umum, Puan Huznah Sait dan karyawan DBP." "MOSTI Bantu Tangani Isu Sekuriti Makanan Melalui Teknologi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menawarkan senarai inventori yang boleh digunakan segera bagi membantu menangani sekuriti makanan dengan penyelesaian berlandaskan teknologi.\nMenteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba berkata pihaknya menawarkan senarai inventori teknologi yang boleh digunakan segera dan lebih 800 jaringan pakar saintis Akademi Sains Malaysia bagi mengenal pasti serta memadankan kaedah penyelesaian terbaik berlandaskan teknologi.\n\u201cSehingga kini, sebanyak 46 penyelesaian teknologi telah dikenal pasti tersedia untuk membantu menangani isu ini,\u201d tambahnya.\nBeliau berkata Agensi Nuklear Malaysia antaranya sedang menjalankan penyelidikan dan pembangunan kaedah biak baka mutasi rumput seperti penghasilan varieti baharu rumput Napier yang lebih tinggi kandungan protein sebagai makanan utama haiwan ternakan seperti lembu dan kambing serta sesuai dijadikan sebagai silaj.\nKatanya lagi, bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran tanaman, antara teknologi yang boleh diguna pakai ialah kemudahan penyinaran gama bagi penjanaan varieti baharu tanaman termasuklah penambahbaikan tanaman.\n\u201cPenggunaan baja yang berasaskan teknologi nano pula membolehkan pelepasan nutrien secara terkawal seterusnya mengurangkan penggunaan baja dan meningkatkan produktiviti serta hasil pertanian, khususnya bekalan makanan,\u201d ujarnya.\nMenurutnya lagi, selain usaha sama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, kerjasama ini akan diteruskan bersama-sama dengan pihak berkepentingan dan diperkasakan.\nMenerusi bilik gerakan yang dikenali sebagai Bilik Gerakan Penyelesaian Teknologi, MOSTI berperanan menyokong kerajaan bagi menangani isu bekalan makanan dengan menggunakan teknologi yang boleh diguna pakai para penternak, peladang dan petani bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.\n\u201cJaringan bekalan dalam ekosistem akan dihubungkan dengan pantas antara pemain utama industri seperti pengusaha dan akademia menerusi bilik gerakan ini bagi membantu menangani pelbagai semasa negara dengan segera,\u201d katanya lagi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.\nSementara itu, Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan berkata isu sekuriti makanan dengan penyelesaian berlandaskan teknologi seperti penggunaan kecerdasan buatan, Internet Benda dan penggunaan bioteknologi dan teknologi nano dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang sudah dikenal pasti dengan penubuhan bilik gerakan ini.\n\u201cMOSTI juga akan mengadakan sesi libat urus bersama-sama dengan persatuan penternak, peladang dan petani serta syarikat teknologi bagi menghimpunkan input yang dapat membantu menangani isu sekuriti makanan,\u201d katanya lagi.\nBeliau juga berkata usaha kolektif dalam menghimpunkan pelbagai teknologi ini disesuaikan dengan peneriman teknologi yang sesuai dapat meningkatkan kelestarian sumber bekalan makanan negara." "Ketahui Asas Penjagaan Kucing\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKucing merupakan antara haiwan kesayangan peliharaan yang popular dalam kalangan masyarakat di negara ini. Dianggarkan jumlah populasi kucing di Malaysia mencapai angka 795 ribu dan mungkin lebih jika ditambah dengan populasi kucing jalanan yang lain.\nMengikut Rakuten Insight, Malaysia dan Indonesia mempunyai kadar pemeliharaan kucing yang tertinggi di Asia Tenggara dengan jumlah masing-masing sekitar 47 peratus dan 34 peratus. Kucing sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat, terutamanya di Asia kerana sifat, personaliti dan kecomelan haiwan berbulu itu mampu menambat hati penjaganya.\nPada fasa pandemik COVID-19, orang ramai mula membela kucing untuk mengisi kekosongan dan masa lapang berikutan kebanyakan syarikat dan badan kerajaan menerapkan kaedah bekerja dari rumah untuk mengelakkan risiko jangkitan COVID-19. Menurut jurnal yang dikeluarkan oleh Jabatan Perubatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Management And Science University, kadar kemurungan atau tekanan perasaan dalam kalangan masyarakat Malaysia meningkat sepanjang fasa Perintah Kawalan Pergerakan berikutan sekatan perjalanan ke negeri lain, faktor beban dan kesunyian akibat terkurung di rumah. Hal ini memberikan impak kepada kesihatan mental rakyat Malaysia.\nTahukah anda bahawa memelihara kucing merupakan suatu bentuk terapi minda? Kucing mungkin tidak boleh berkomunikasi seperti manusia, namun gelagat dan telatah haiwan ini mampu mengundang tawa dan mampu menggembirakan penjaganya di samping mengurangkan tekanan penjaganya.\nWalaupun memelihara kucing semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, namun masih ramai yang tidak cakna mengenai perihal penjagaan kucing. Mana tidaknya, banyak penjaga yang tidak bertanggungjawab membuang kucing peliharaan mereka yang sakit dan beranak pinak ke pasar, klinik veterinar dan bangunan sekolah dengan harapan kucing ini akan dijaga dan diberikan makan.\nHal ini adalah perkara yang tidak beretika kerana kucing adalah sebahagian daripada keluarga dan tidak dikurniakan akal seperti manusia untuk berfikir. Pengakhirannya, kucing yang dibuang ini kebanyakannya mati akibat dilanggar oleh kenderaan. Oleh itu, amat penting kepada masyarakat untuk mengetahui asas penjagaan dan tanggungjawab terhadap kucing sebelum membeli atau membela kucing peliharaan.\nAsas penjagaan kucing berkait rapat dengan lima darjah kebebasan buat haiwan, yang meliputi bebas daripada lapar dan dahaga, bebas daripada ketidakselesaan, sakit dan penyakit, kebebasan untuk menunjukkan sifat semula jadi dan bebas daripada ketakutan dan kemurungan.\nAsas penjagaan kucing yang pertama ialah penjagaan makan dan minum dan hal ini sangat penting untuk tumbesaran dan perkembangan kucing. Kebanyakan orang tidak mengetahui kepentingan keperluan nutrisi kucing yang seimbang. Sering kali kita melihat situasi penjaga kucing memberikan ikan dan nasi sebagai makanan ruji kucing. Kucing yang hanya diberikan sumber protein dan karbohidrat sahaja adalah tidak mencukupi kerana kucing tersebut akan kekurangan keperluan nutrisi penting yang lain.\nSama seperti manusia, kucing memerlukan nutrisi lain seperti vitamin, asid amino dan lemak untuk keperluan fisiologi badan. Diet kucing perlu mengutamakan protein sebagai sumber tenaga. Penjaga kucing juga disarankan untuk memberikan kucing makanan yang bermutu tinggi. Hal ini disebabkan oleh makanan yang bermutu tinggi sudah diformulasikan untuk memenuhi keperluan nutrisi kucing mengikut keperluan umur.\nMakanan kucing perlu diberikan mengikut peringat umur, yakni pada peringkat awal, dewasa dan tua. Penjaga kucing perlu mengenali umur kucing mereka dan memberikan makanan yang sesuai dengan peringkat umur haiwan tersebut. Selain itu, air juga memainkan peranan yang penting. Kucing hendaklah diberikan bekalan air bersih yang secukupnya kerana air berperanan dalam pengawalan suhu badan dan fisiologi asas kepada kucing. Bekalan air bersih mampu meningkatkan kadar pengambilan air dan kucing akan lebih bersemangat untuk minum jika minuman sering kali ditukar.\nSelain daripada itu, penjaga kucing dinasihatkan supaya mengelak dari memberikan makanan seperti coklat dan ubat parasetamol kerana kedua-dua bahan ini boleh menyebabkan toksisiti kepada kucing. Coklat mempunyai kandungan teobromina yang tidak mampu dicerna oleh kucing dan bertindak sebagai bahan perangsang untuk meningkatkan kadar denyutan jantung serta mampu merangsang pengeluaran air berlebihan daripada badan kucing. Hal ini akan menyebabkan kematian akibat dehidrasi melampau.\nKucing juga tidak boleh makan ikan mentah secara berlebihan atau dijadikan sebagai makanan rugi kerana ikan mentah mempunyai enzim tiaminase yang akan mencerna tiamina (vitamin B1). Apabila enzim ini mencerna vitamin B1, kucing akan kekurangan vitamin B1 dalam badan. Vitamin B1 penting untuk sistem saraf dan akibatnya, kucing akan mengalami gejala saraf seperti sawan, berjalan tidak seimbang dan sebagainya.\nSelain itu, kucing juga perlu bebas daripada unsur ketidakselesaan, takut dan kemurungan. Penjaga kucing perlu menyediakan tempat yang sesuai untuk kucing mereka. Elakkan menempatkan kucing dalam sangkar yang terlalu kecil sehingga membatasi pergerakan kucing dan mampu mengundang kepada kemurungan. Sediakan sangkar yang besar atau bilik khas untuk kucing peliharaan anda. Elakkan tempat yang tiada pengudaraan yang baik, panas dan berhabuk. Sediakan alatan permainan kucing dan tempat mencakar untuk kucing untuk membolehkan mereka kekal aktif.\nPersekitaran yang kondusif mampu mengelakkan kucing daripada kemurungan. Hal ini dikatakan demikian kerana kemurungan mampu merendahkan sistem imuniti kucing dengan penghasilan hormon kortisol yang tinggi dan kucing akan lebih mudah sakit. Jika anda mempunyai masa lapang, bawalah kucing keluar dari sangkar dan biarkan kucing menerokai seisi rumah. Jika anda membawa kucing berjalan di luar rumah, pasangkan rantai supaya kucing tidak lari keluar dari rumah dan berkemungkinan dilanggar oleh kenderaan yang lalu lalang. Apabila kucing bebas daripada unsur ketakutan dan kemurungan, kucing akan lebih ceria dan aktif bermain, \u00c2\u00a0malah akan menunjukkan mereka gembira dengan suasana dalam rumah.\nKebanyakan kucing yang dibela di dalam rumah atau sangkar biasanya mempunyai bekas pasir untuk membuang najis. Kebanyakan penjaga akan sentiasa membuang dan menapis pasir kotor yang telah menyerap najis dan kencing kucing. Kucing merupakan haiwan yang pembersih dan selalunya kucing tidak gemar untuk kencing dan membuang najis di dalam bekas pasir yang kotor. Untuk mengelakkan kucing menahan kencing, pembersihan bekas najis secara berkala amatlah digalakkan. Bagi ibu mengandung, adalah tidak disarankan untuk membersihkan najis kucing kerana dikhuatiri akan berlaku jangkitan toksoplasma yang boleh berjangkit daripada oocyst toxoplasma di dalam najis kucing kepada ibu mengandung. Oleh yang demikian, bagi mengelakkan jangkitan tersebut, disarankan ibu mengandung untuk tidak membersihkan bekas pasir kucing, kecuali dengan memakai pelitup muka dan sarung tangan serta segera membersihkan tangan selepas mencuci.\nPenjagaan asas untuk kucing yang ketiga ialah penjagaan kesihatan. Penjagaan kesihatan kucing termasuklah program vaksin, ubat-ubatan, suplemen, keperluan untuk nyah cacing dan kutu serta penjagaan kucing sakit. Program vaksin bagi kucing bermula apabila kucing mencapai umur satu bulan atau berat mencapai satu kilogram. Tujuan utama pemberian vaksin adalah untuk perlindungan dan pencegahan penyakit berjangkit yang oleh membawa kepada maut seperti penyakit hawar kucing (Parvo virus), penyakit berkaitan saluran pernafasan (Feline viral rhinotracheitis), penyakit berkaitan mulut (Feline calicivirus) dan sakit mata (bawaan bakteria Chlamydia felis).\nSecara amnya, kucing di bawah usia satu tahun perlu mengambil sebanyak tiga dos vaksin (dengan jarak satu bulan bagi setiap dos) sebelum mengambil dos secara tahunan. Kucing dewasa yang melebihi usia tiga tahun pula hanya perlu mengambil vaksin tahunan. Penjaga kucing boleh membawa kucing ke klinik veterinar yang berdekatan untuk mendapatkan vaksin dan kad kesihatan haiwan.\nSelain itu, pengambilan ubat cacing bagi setiap tiga bulan amatlah digalakkan untuk mengurangkan beban cacing dalam badan kucing. Pengambilan ubat cacing sangat penting untuk mengelakkan masalah cirit-birit dan masalah penghadaman. Ubat kutu juga penting kerana kutu yang terlalu banyak boleh menyebabkan kekurangan darah. Kutu juga merupakan pembawa agen bakteria Mycoplasma haemofelis yang mampu merosakkan sel darah merah kucing dan membawa kepada penyakit kuning untuk kucing.\nPenyakit kucing bukan sahaja berkisar kepada penyakit berjangkit. Kucing berpunya mempunyai penyakit metabolik tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi, batu karang, kencing tidak lawas dan banyak lagi. Penyakit ini terjadi jika pemakanan kucing adalah tidak seimbang dan kucing diberikan makanan berkualiti yang kaya dengan garam dan pewarna.\nDalam aspek penyakit metabolik atau kardiovaskular, penjagaan makanan dan minuman kucing amatlah kritikal bagi mengelakkan kucing menjadi obes dan mengundang kepada masalah kesihatan yang lain. Jika kucing terlampau gemuk atau mempunyai masalah kesihatan yang lain, pemeriksaan lanjut perlu dilakukan di klinik veterinar yang berdekatan untuk rawatan dan konsultasi.\nProgram pemandulan kucing pernah menjadi perbualan hangat kerana didakwa sebagai tindakan yang zalim dan menyekat kebebasan kucing untuk membiak. Mengikut fatwa dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, hukum memandulkan kucing adalah harus. Perlu diingatkan bahawa populasi kucing di Malaysia amatlah banyak dan semakin banyak kucing terbiar di merata-rata tempat. Kucing mampu beranak sebanyak tiga kali setahun dan mampu mendapat hingga lima ekor anak secara purata bagi setiap kelahiran.\nPertambahan populasi kucing yang sangat cepat ini amatlah membimbangkan. Penjaga kucing perlu mengaudit kemampuan diri untuk menjaga jumlah kucing yang mampu dijaga pada satu-satu masa. Jika penjaga hanya mampu membela seekor kucing, adalah disarankan untuk memandulkan kucing tersebut di klinik veterinar. Hal ini adalah untuk mengelakkan masalah di kemudian hari seperti kucing kencing di merata-rata tempat (kucing jantan) sebagai tindak balas normal kepada pertambahan hormon testosteron dalam badan untuk mencari kucing betina.\nSebagai kesimpulannya, asas penjagaan kucing amatlah mudah jika dilakukan secara sistematik, berkala dan mengikut nasihat yang diberikan oleh doktor veterinar. Maklumat kepada asas penjagaan kucing juga mudah didapati secara dalam talian bersama-sama dengan panduan ringkas yang lain. Penjaga kucing yang berilmu mampu memastikan kesihatan dan kebajikan kucing terjaga tanpa sebarang unsur kezaliman." "Nilai Ekonomi Industri Florikultur di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKedudukan negara Malaysia yang terletak di garisan khatulistiwa, selain memiliki keunikan iklim tropika serta mempunyai cuaca yang panas dan lembap sepanjang tahun menjadikan negara ini amat sesuai untuk pengeluaran produk florikultur termasuklah bunga beriklim panas. Evolusi industri florikultur dunia bermula pada akhir abad ke-19 di England. Pusat pengeluaran florikultur dijalankan berhampiran dengan pusat pemasaran industri ini.\nPusat pengeluaran dan pemasaran florikultur terbesar di dunia sejak tahun 1970 diusahakan di Jepun, Eropah Barat dan Amerika Syarikat. Pusat pengeluaran dan perdagangan utama produk florikultur dunia diusahakan di Belanda, iatu sebanyak 52 peratus. Selain itu, pengeluar utama produk florikultur dunia adalah Colombia (15 peratus), Ecuador (sembilan peratus), Kenya (tujuh peratus), Belgium (tiga peratus), Ethopia (dua peratus), termasuklah Malaysia, Itali, Jerman dan Israel yang masing-masing mengeluarkan produk industri florikultur sebanyak satu peratus.\nPembangunan industri florikultur di Malaysia bermula sejak lima dekad yang lalu sebelum pertengahan tahun 1980. Pada awalnya, industri ini berkembang tanpa bantuan dan sokongan kerajaan. Faktor pendorong seperti keuntungan yang lumayan, peluang perniagaan dan pemasaran meluas, terutamanya pasaran eksport ke Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun telah memberikan peluang kepada Malaysia untuk membangunkan industri florikultur. Pada pertengahan tahun 1980-an, pemberian insentif oleh kerajaan Malaysia telah membantu dalam pembangunan industri florikultur seperti orkid dan bunga keratan hawa sederhana.\nMenurut artikel \u201cSenario Industri Florikultur Malaysia\u201d yang diterbitkan dalam Buletin Teknologi MARDI Bilangan 20 Edisi Khas Florikultur pada tahun 2020, nilai ekonomi pengeluaran produk florikultur di Malaysia menunjukkan kemajuan dan menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi negara disebabkan oleh peranan Malaysia sebagai satu daripada negara pengeluar dan pengeksport utama produk florikultur di rantau Asia Tenggara. Industri florikultur di Malaysia merangkumi pengeluaran tanaman hiasan dan orkid tropika di kawasan tanah rendah, manakala pengeluaran bunga iklim dihasilkan di kawasan tanah tinggi seperti di Tanah Tinggi Cameron Highlands dan pengeluaran bunga beriklim sederhana dihasilkan di Kundasang, Sabah.\nPesta Orkid, Flora dan Herba 2022 yang telah berlangsung pada 4 Jun hingga 12 Jun 2022 lalu merupakan usaha mengukuhkan pembangunan dan kemajuan nilai ekonomi industri florikultur di Malaysia. Majlis perasmian program tersebut telah diadakan di Pusat Transformasi Luar Bandar, Tunjung, Kota Bharu, Kelantan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Yang Berhormat Datuk Seri Haji Ahmad Hamzah. Program ini juga menyediakan pelbagai gerai jualan orkid, buah-buahan dan pertandingan bonzai yang disertai lebih daripada 160 orang peserta dari luar negara.\nNilai ekonomi industri florikultur menerusi industri bunga orkid di Malaysia merupakan satu daripada penyumbang kepada nilai eksport negara sebanyak RM417.3 juta sepanjang tahun 2021. Lebih membanggakan, nilai eksport negara menerusi keuntungan industri florikultur telah menunjukkan peningkatan ketara berbanding dengan nilai eksport negara sebanyak RM 403 juta pada tahun 2020. Menurut Yang Berhormat Datuk Seri Haji Ahmad Hamzah,\nUsaha Malaysia ke arah memperluaskan pasaran produk florikultur kini sedang giat dijalankan ke pasaran sedia ada dan pasaran baharu menerusi perundingan dua hala, penyertaan aktif dalam ekspo florikultur landskap dan pelancongan. Sektor florikultur akan kekal sebagai teras ekonomi dan pemangkin kepada perkembangan pengeluaran orkid, flora dan herba negara.\nSecara umumnya, industri florikultur diharapkan dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara dari segi kewujudan pendapatan dan kesan limpahan positif kepada pelbagai sektor lain. Hal ini dikatakan demikian kerana Malaysia mempunyai kelebihan dari segi kekayaan biodiversiti yang berupaya menjana dan meningkatkan sumbangan industri florikultur negara. Jelaslah bahawa hasil pengurusan cekap yang dibantu dengan strategi pemasaran berkesan akan membolehkan pelaburan dalam bidang florikultur memberi pulangan yang baik kepada ekonomi negara." "Program SMART SBB Meningkatkan Produktiviti Padi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Belud \u2013 \u201cProgram SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang dirangka khusus sebagai hala tuju baharu subsektor padi dan beras negara untuk meningkatkan produktiviti bagi mencapai Tahap Sara Diri (SSL) beras sebanyak 75 peratus sebagaimana yang ditetapkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) sekali gus mengurangkan kebergantungan import,\u201d kata Menteri Kementerian Pertanian dan lndustri Makanan (MAFI), Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dalam Majlis Perasmian Program SMART SBB di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud, Sabah semalam.\nKawasan sawah terbiar seluas 45 hektar di daerah Kota Belut yang melibatkan sebanyak 40 orang pesawah akan dibangunkan melalui inisiatif SMART SBB. Inisiatif ini dijangka akan meningkatkan pendapatan pesawah melalui kerjasama strategik awam dan swasta bersama-sama dengan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).\nMenurut Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, kolaborasi strategik antara MAFI dengan syarikat peneraju akan menjadi titik permulaan kepada perubahan landskap industri padi dan beras tempatan.\nTambah beliau, Sabah telah diperuntukkan sebanyak RM68.97 juta oleh kerajaan persekutuan pada tahun 2022 menerusi tiga program subsidi input dan satu program subsidi output. Peruntukan ini dijangka akan memberikan manfaat kepada 45 016 orang pesawah, termasuklah pesawah padi bukit.\nDalam majlis yang sama, simbolik majlis pecah tanah bagi pembinaan Kompleks IADA turut diadakan. Simbolik ini akan menjadi mercu tanda kepada pembangunan industri padi dan beras di negeri Sabah.\nSelain itu, kerajaan persekutuan juga telah memperuntukkan sebanyak RM36 juta untuk pembinaan kompleks ini dan dijangka siap dalam tempoh RMKe-12 selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkasakan peranan IADA dan membantu pembangunan subsektor padi di daerah Kota Belud.\n\u00a0Kompleks IADA dijangka akan menyumbang kepada pembangunan kawasan yang lebih holistik dan cekap. Kompleks ini juga akan menjadi pusat latihan kepada pesawah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pembangunan industri padi, bengkel jentera pertanian, makmal analisis pertanian, dan sebagainya.\nBeliau turut menjelaskan bahawa kerajaan sedang giat membangunkan sistem pengairan dan saliran di Kota Belud yang melibatkan kos sebanyak RM410.39 juta bagi mengatasi masalah air. Projek pembangunan ini merangkumi kria-kira 17 buah projek pembangunan dan melibatkan kerja menaik taraf sistem pengairan dan saliran, pembinaan tali air utama, pembinaan jalan ladang, dan infrastruktur lain yang dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2030. Seluas 5000 hektar kawasan dengan penanaman padi sebanyak dua kali setahun akan dapat dilaksanakan apabila projek ini siap.\nPembangunan infrastruktur ini tentu sekali akan memberikan manfaat kepada pesawah dari segi peningkatan hasil dan pendapatan sekali gus menyumbang kepada peningkatan SSL negeri Sabah kepada 60 peratus.\nSementara itu, MAFI juga bercadang untuk mengoptimumkan penggunaan sumber tanah di Sabah dan Sarawak dengan sasaran pembukaan kawasan jelapang baharu seluas 200 ribu hektar di kedua-dua buah negeri melalui kerjasama kerajaan negeri masing-masing dengan anggaran pengeluaran hasil padi sebanyak 1.2 juta tan metrik setahun.\nTurut hadir ialah Pembantu Menteri (II) Kementerian Pertanian dan Perikanan Negeri Sabah, Yang Berhormat Hendrus Anding, Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Perikanan Negeri Sabah, Yang Berbahagia Datuk Dr. Mariana Tinggal, Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Tuan Jifrin Haji Mohamad, Setiausaha Bahagian Pembangunan lndustri Padi MAFI, Encik Azman Mahmood, Penolong Pegawai Daerah Kota Belud, Encik Abdul Wahab Sidek, Pengarah Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian, Encik Mohamad Radzi Abdul Talib, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Yang Berbahagia Dato\u2019 Dr. Norlizan Mohd Noor, dan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan lkan Malaysia, Tuan Yusoff Othman." "Evolusi Sistem Bas Alihan Cepat Autonomi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSistem bas alihan cepat atau bus rapid transit (BRT) telah diperkenalkan di Malaysia pada bulan Jun 2015. Sistem BRT ini meliputi kawasan penempatan perumahan komersial di sekitar Bandar Sunway dan Subang Jaya di Selangor. Projek BRT-Laluan Sunway sepanjang 4.5 kilometer telah dimajukan secara usaha sama oleh Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) dan Sunway Berhad. Sistem BRT yang menggunakan perkhidmatan bas elektrik mesra alam ini menghubungkan lokasi utama seperti hospital, universiti, pusat membeli-belah dan kawasan komersial.\nSistem BRT dibina untuk meningkatkan hubung kait perkhidmatan bas sedia ada dan mempercepatkan perjalanan bas untuk penumpang. Sistem ini juga merupakan sistem transit aliran dengan penggunaan lorong khusus bas mesra alam sekitar serta infrastuktur yang mesra pelanggan. Berbeza dengan perkhidmatan bas berhenti-henti yang perlu bersaing dengan lalu lintas biasa, para pengguna sistem BRT ini tidak perlu menghadapi kesesakan lalu lintas. Terkini, Johor juga tidak ketinggalan dalam meningkatkan lagi mutu perkhidmatan awam di negeri tersebut, dengan memperkenalkan perkhidmatan BRT yang terbaharu, iaitu sistem BRT autonomi.\nMenurut Datuk Ismail Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Iskandar Malaysia akan menjadi bandar pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang menguji sistem BRT autonomi melalui program perintisnya di negeri tersebut. Sistem pengangkutan bas tanpa pemandu, yang dikenali sebagai Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit (IMBRT) telah pun dimulakan program rintisnya selama tiga bulan, bermula pada bulan April 2021. Fasa pertama IMBRT ini melibatkan perjalanan sejauh 51 kilometer dan pembinaan sebanyak 39 buah stesen di sekitar Tebrau, Skudai dan Iskandar Puteri. Sistem BRT autonomi di Brisbane, iaitu satu daripada bandar di Australia telah digunakan sebagai model rujukan pelaksanaannya di Iskandar Malaysia.\nWalaupun sistem BRT autonomi ini masih baharu dan dalam tempoh percubaan di negeri Johor, sistem ini sebenarnya telah digunakan secara meluas di seluruh dunia dengan kadar pertumbuhannya adalah sekitar 383 peratus semenjak diperkenalkan 10 tahun lalu. Sebanyak 171 bandar di seluruh dunia telah menggunakan sistem ini sebagai satu daripada kaedah penyelesaian kepada kesesakan jalan raya, termasuklah Jakarta, Bangkok, Hanoi, Shanghai, Istanbul, Paris, Los Angeles dan New York. Setiap hari, lebih daripada 33 juta orang telah mendapat manfaat daripada sistem BRT autonomi ini.\nSistem BRT autonomi biasanya digambarkan sebagai \u201crel ringan yang beroda\u201c. Sistem ini ialah sistem bas artikulasi yang berpandukan pengesanan dan jarak cahaya atau LiDAR yang mempunyai kapasiti tinggi untuk pengangkutan penumpang bandar. Sistem ini juga menggabungkan kualiti sistem rel-ringan seperti kelajuan, kecekapan, pembayaran tambang di stesen, stesen tetap dan lengkap, kos yang lebih rendah dan sistem tayar getah yang fleksibel. Secara umumnya, sistem BRT autonomi memberikan banyak kualiti sistem rel ringan dengan harga tambang yang lebih murah.\nWalaupun kumpulan pakar transit umumnya bersetuju bahawa sistem BRT autonomi mempunyai kelebihan, namun masih terdapat dalam kalangan mereka yang mempertimbangkan pembinaan rel ringan untuk meningkatkan mobiliti di sepanjang koridor yang sangat sibuk. Antara sebab utama untuk memilih sistem rel ringan berbanding BRT ialah potensi untuk kapasiti yang lebih besar yang diperlukan di beberapa laluan permintaan tinggi. Gerabak rel ringan yang lebih panjang dan boleh disatukan untuk menampung lebih banyak penumpang pada waktu puncak dan hal ini menjadikan sistem ini lebih diminati. Namun demikian, dengan kemajuan terkini dalam teknologi kenderaan autonomi telah mengembangkan BRT menjadi lebih daripada sekadar peniruan rel ringan. Sistem BRT autonomi dapat menggabungkan kebaikan sistem rel ringan dan BRT dalam menetapkan piawaian baharu dalam pengangkutan awam.\nPenggunaan sistem BRT autonomi adalah kurang mengganggu berbanding dengan rel ringan kerana tidak melibatkan pembinaan perkhidmatan dan penjajaran yang baharu. Laluan bas BRT autonomi ini juga boleh diautomasikan secara serta-merta. Hal ini bermaksud laluan jalan sedia ada boleh terus digunakan dan jika perlu, lorong bas khusus boleh disediakan. Sistem BRT autonomi ini dilihat berpotensi untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya di bandar-bandar dengan ketara, bukan sahaja dengan penggunaan lorong atau laluan bas khusus tetapi juga dengan menggunakan kawalan trafik automatik. Memandangkan purata hayat efektif bas transit hanya kira-kira sekitar 12 tahun sahaja, bas sedia ada boleh diubah suai semula untuk menampung sistem automasi atau bas yang tidak digunakan boleh digantikan dengan bas automatik sifar pelepasan.\nSistem BRT autonomi ini juga boleh berkembang dan digabungkan dengan teknologi bandar pintar yang lain. Contohnya, apabila penderia dan kawalan ditambahkan pada sistem trafik dan jalan raya, bas BRT autonomi boleh mengumpulkan data tentang corak trafik untuk dianalisis. Bas BRT autonomi juga boleh bertindak sebagai antara muka dengan lampu isyarat, persimpangan jalan dan sistem lain untuk mengoptimumkan aliran trafik, yang mewujudkan asas untuk sistem lalu lintas bandar pintar dengan pelaburan minimum menggunakan infrastruktur sedia ada.\nTeknologi kenderaan berautonomi akan membolehkan operator BRT menambahkan bilangan bas, sesuai dengan permintaan dan penambahan kapasiti jika diperlukan. Operator BRT dengan mudah dapat mengendalikan dua atau lebih bas serentak untuk memenuhi perubahan permintaan. Tidak seperti sistem rel-ringan, bas tambahan ini tidak akan dihubungkan secara fizikal. Sebaliknya, sistem autonomi dapat dikalibrasi sehingga bas dapat bergerak dalam sela beberapa minit sahaja, seperti meniru pergerakan rel ringan. Secara teorinya, bas BRT autonomi boleh ditambah bilangannya mengikut keperluan semasa dan para operator dapat mengekalkan jarak kepala yang selamat ketika berlakunya kesesakan lalu lintas.\nPeningkatan tahap keselamatan ialah manfaat yang dapat dicapai melalui sistem BRT autonomi. Menurut Pangkalan Data Transit Nasional Pentadbiran Transit Persekutuan Amerika Syarikat, terdapat sebanyak 3250 perlanggaran dengan hampir 13 000 kecederaan dan 92 kematian yang melibatkan bas pada tahun 2011. Angka ini berjumlah kira-kira RM1930 juta dalam perbelanjaan menguruskan kemalangan dan liabiliti.\nTeknologi autonomi dapat mengurangkan jumlah kemalangan yang berkaitan dengan bas. Sistem brek kecemasan yang telah terbukti memiliki waktu reaksi yang lebih baik jika dibandingkan dengan pemanduan manusia akan digunakan secara automatik ketika kenderaan, penunggang basikal atau pejalan kaki dikesan terlalu dekat. Sistem autonomi ini dapat mengesan kemungkinan kemalangan dari arah belakang atau sisi dan menyesuaikan kelajuan atau kedudukan bas untuk mengelakkannya. Manfaat keselamatan yang lain adalah untuk penunggang basikal yang tidak perlu menangani bahaya trek rel ringan yang tertanam di jalan raya.\nAras lantai BRT adalah seperti sistem rel ringan dan pengguna tidak perlu memanjat tangga untuk masuk ke dalamnya. Ciri ini sangat bermanfaat terutamanya bagi warga emas, kanak-kanak atau pengguna yang mempunyai masalah pergerakan. Sistem BRT autonomi ini juga mempunyai dok yang tepat yang membolehkan bas mendekati bebendul jalan secara konsisten dan seterusnya masa untuk merapatkan jurang di antara bas dan platform dapat dikurangkan. Dari segi kos pula, modal yang lebih rendah diperlukan dibandingkan dengan pembinaan sistem rel ringan dan teknologi mudah ditambahkan ke sistem BRT yang ada.\nSistem BRT autonomi juga mungkin tidak memerlukan pemandu dan hal ini dapat mengurangkan kos operasi. Sebaliknya, kakitangan ini dapat disediakan untuk tugasan lain seperti menyediakan operasi pusat kawalan, layanan pelanggan untuk agensi atau hanya diperlukan jika berlakunya sebarang kerosakan. Sistem BRT autonomi juga boleh beroperasi di jalan yang lebih sempit, menjimatkan kos modal dan membolehkan BRT dilaksanakan dengan lebih mudah dalam senario jalan yang agak terbatas.\nWalaupun begitu, tidak dinafikan bahawa sistem BRT autonomi yang berkesan memerlukan sistem integrasi yang efektif, antaranya dari segi perancangan bandar, pengurusan lalu lintas dan kawalan isyarat lalu lintas. Walaupun sistem ini masih berkembang dan belum cukup siap sepenuhnya untuk keseluruhan rangkaian jalan hari ini terutamanya di Malaysia, namun sistem ini terus berevolusi. Sistem BRT autonomi memberikan kualiti rel terbaik sambil memberikan pilihan yang paling efisien dan menjimatkan kos untuk penumpang bergerak di sepanjang koridor yang strategik. Sistem BRT autonomi ini sewajarnya dikembangkan, selari dengan aspirasi Malaysia ke arah negara neutral karbon menjelang tahun 2050.\n\u00c2\u00a0\nProfesor Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff ialah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia." "Meneroka Potensi Kesum dalam Kesihatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBagi penggemar laksa, bau dan aroma daun kesum pastinya terbayang-bayang dalam ingatan. Tanpanya, masakan tradisional yang sangat terkenal di belah utara itu boleh dikatakan sebagai satu hidangan yang belum sempurna. Oleh itu, daun kesum mempunyai peranan yang sangat besar dalam hidangan tersebut serta boleh dianggap sebagai daya pemikat paling utama yang menjadikan hidangan sangat unik dan istimewa.\nKesum juga merupakan tanaman mudah mesra kerana mudah membiak tanpa memerlukan penjagaan yang rapi, misalnya dengan penentuan kualiti baja, air atau pencahayaan. Oleh sebab itu, pokok ini sangat mudah kelihatan di kediaman termasuklah di kawasan rumah pangsa. Pokok ini tidak memerlukan kawasan tanah yang luas. Dengan menggunakan keratan batang dan direndam di dalam besen, kesum boleh merimbun dalam tempoh dua minggu. Selepas itu, kesum boleh dipetik untuk dijadikan sebagai perencah masakan. Selain laksa, kesum turut dimasukkan ke dalam hidangan asam pedas.\nDisebabkan oleh bau kesum yang agak kuat dan menarik, tumbuhan ini juga dimanfaatkan dalam industri pembuatan minyak wangi. Sebagaimana yang dinyatakan dalam makalah Daun Kesum Mampu Rencat Sel Kanser tulisan Mona Ahmad pada tahun 2016, terdapat bahan yang digunakan untuk menghasilkan minyak wangi di Perancis yang dipercayai menggunakan sebatian yang terdapat dalam daun kesum. Keadaan ini adalah tidak pelik kerana daun kesum sememangnya mampu menghasilkan minyak pati yang mengandungi bahan kimia alipathic aldehyde, yakni secara semula jadi berpotensi untuk dijadikan sebagai perisa atau wangian. Baunya yang kuat juga dimanfaatkan dalam industri pembuatan semburan untuk menghalau serangga perosak seperti lipas.\nKesum tergolong sebagai satu daripada tumbuhan istimewa kerana berkeupayaan mengeluarkan sebatian metabolit sekunder yang sangat berguna dalam merawat penyakit kanser. Berdasarkan penulisan oleh Mona Ahmad, dinyatakan bahawa sesuatu tumbuhan itu akan mengeluarkan sebatian metabolit sekunder apabila berada dalam keadaan tertekan untuk melindungi dirinya apabila berdepan dengan cuaca yang panas atau hujan, serangan bakteria atau jangkitan kulat dan perubahan hormon.\nTidak seperti haiwan yang boleh melarikan diri untuk berteduh, mencari tempat perlindungan atau merawat dirinya dengan menggunakan unsur semula jadi, tumbuh-tumbuhan akan bertindak balas terhadap perubahan yang berlaku kepada dirinya dengan membina sistem pertahanan yang unik. Oleh itu, tumbuhan yang berupaya bertindak balas dan menghasilkan sistem perlindungan diri boleh dianggap sebagai tumbuhan yang sangat lasak kerana mempunyai ketahanan diri yang tinggi. Maka, tidak hairanlah apabila kesum boleh membiak di mana-mana sahaja kerana keupayaan semula jadinya yang mampu bertindak balas terhadap persekitaran.\nSebatian yang dimiliki oleh kesum ini dianggap sebagai aset yang mempunyai nilai perubatan yang sangat berharga berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Institut Biologi Sistem (INBIOSIS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Dalam ujian makmal yang dijalankan oleh INBIOSIS, sebatian yang terkandung dalam tumbuhan tersebut mampu merencatkan sel kanser dengan sangat efektif.\nKajian yang dijalankan oleh Mohamad Agus Wibowo dan rakan-rakannya tentang ekstrak daun kesum yang dapat memperbaik kerosakan paru-paru kesan daripada penghasilan Reactive Oxygen Species (ROS) barangkali dianggap sebagai penemuan yang mengujakan dan menggembirakan kepada golongan perokok tegar walaupun perkara ini bukanlah satu lesen untuk terus kekal dengan tabiat yang tidak elok itu.\nHal ini dikatakan demikian kerana kajian yang tersiar dalam jurnal Kedokteran Haiwan Volume 7 No. 2 keluaran bulan September 2013 itu mendapati bahawa pecahan n-heksana yang terdapat dalam ekstrak daun kesum dapat merencatkan pertumbuhan sel kanser yang disebabkan oleh benzopirena yang merupakan unsur utama dalam kandungan rokok. Sel kanser tercetus apabila benzopirena ini merosakkan asid deoksinukleik dan menghasilkan radang dalam paru-paru. Hal ini kerana benzopirena menguraikan metabolit reaktif dan ROS merupakan agen utama yang boleh merosakkan paru-paru.\nTesis yang dikemukakan oleh Naema Yousri Fatthallah Elnehrawy dalam bidang biosains dan kejuruteraan perubatan di Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 2015 juga sangat menarik untuk diketengahkan. Tesis tersebut yang berkaitan dengan kajian in vitro terhadap kesum dan kesan ekstraknya kepada keupayaan penyembuhan sel kulit mendapati bahawa kesum memiliki ciri antioksidan, kaya dengan vitamin dan mineral penting serta mempunyai fungsi antiulser dan antimikrob yang menakjubkan. Terdapat dapatan utama dalam kajian ini menunjukkan bahawa ekstrak akueus daun kesum berpotensi untuk mempercepat penyembuhan sel kulit di samping menggalakkan proses merawat dengan cara yang selamat, semula jadi dan efektif.\nDengan ciri dan fungsi yang terdapat pada kesum, luka kronik yang sering menjadi masalah kepada penghidap diabetis dan pesakit yang mempunyai sistem saluran dalam tubuh yang lemah dapat diatasi. Luka kronik ini jika tidak dirawat dengan segera boleh menyebabkan masalah komplikasi yang serius seperti kecederaan parah, septisemia atau amputasi (kekudungan). Oleh itu, penemuan kajian Naema ini boleh dianggap sebagai berita yang sangat melegakan kepada pesakit yang berhadapan dengan masalah tersebut.\nSelain itu, ciri antioksidan yang dimiliki oleh tumbuhan herba seperti kesum bukan sahaja berupaya merencatkan sel kanser tetapi memberikan kesan yang signifikan kepada psikologi manusia, misalnya memperbaik dimensi kognitif manusia seperti ingatan dan pengecaman tugas. Ciri ini juga mampu menurunkan tahap kegelisahan dan tekanan. Dengan kata lain, ciri antioksidan yang terdapat pada kesum boleh memperbaik kualiti hidup manusia dari segi emosi, perasaan dan pemikiran.\nBerdasarkan tulisan Suzana Shahar dan rakan-rakannya dari UKM bertajuk The Effect of Polygonum Minus Extract on Cognitive and Psychosocial Parameters According to Mood Status Among Middle-Aged Woman: A Randomized, Double-Blind, Placebo-Controlled Study pada tahun 2015 dalam jurnal Clinical Interventions in Aging menyatakan bahawa pengambilan kesum dapat memperbaik Wechsler Abbreviated Scale of Intelligence (WASI) yang merujuk fungsi psikologi dari sudut keupayaan berfikir, kemahiran intelek dan kekuatan emosi. Perkara yang paling menarik dalam kajian tersebut ialah pengambilan kesum tidak memberikan kesan sampingan kepada organ dalaman seperti hati. Oleh sebab itu, pengambilan kesum secara suplementari boleh dianggap selamat kerana mempunyai keupayaan penyembuhan secara semula jadi.\nBarangkali atas sebab itu, kesum mempunyai tempat dalam masyarakat Melayu sehinggakan tumbuhan herba tersebut turut dijadikan sebagai ulam yang boleh dimakan mentah begitu sahaja. Sifatnya yang menonjolkan ciri yang lasak dan dikategorikan daripada jenis tumbuhan \u201cpanas\u201d menyebabkannya banyak dimanfaatkan untuk kegunaan kesihatan dalaman. Antaranya adalah seperti yang berikut:\nJadual 1 Rawatan yang menggunakan daun kesum mengikut jantina.\nDalam tulisan Aidatul Azura Abdul Rani dan rakan-rakannya yang berjudul Amalan Perubatan Tradisional Melayu bagi Penjagaan Ibu-ibu Selepas Bersalin di Negeri Kelantan yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari) pada tahun 2017 menyatakan bahawa daun kesum yang dicampurkan dengan pucuk lengkuas dan daun pucuk pinang boleh digunakan untuk merawat penyakit rengat yang merujuk sakit di bahagian peranakan selepas melahirkan anak. Caranya adalah dengan menumbuk kesemua bahan tersebut, kemudian menapisnya dan seterusnya meminumnya.\nRawatan lain yang menggunakan daun kesum sebagaimana yang menjadi amalan dalam perubatan tradisional masyarakat Melayu adalah seperti yang berikut:\nJadual 2 Rawatan perubatan tradisional yang menggunakan daun kesum.\nPenggunaan kesum sebagai agen rawatan tradisi turut digunakan di negara lain di rantau Asia Tenggara. Sebagai contohnya, dalam kalangan masyarakat Kalimantan Barat, daun kesum yang mempunyai ekstrak etanol telah dikomersialkan menjadi syampu. Hal ini sebagaimana dalam kajian Dini Hadiarti yang bertajuk Shampoo of Kesum (Polygonum Minus) Leaves Ethanol Extract as an Anti-Dandruff, yang tersiar dalam AIP Conference Proceedings pada tahun 2017 yang menyatakan bahawa daun kesum mampu membina aktiviti antikulat bagi menghalang pembiakan kulat yang disebabkan oleh kelemumur.\nDi samping itu, daun kesum juga mempunyai kesan yang signifikan terhadap asid lemak bebas yang terdapat dalam minyak masak. Dalam kajian yang dijalankan oleh Gervacia Jenny R dan Ratih Indrawati dari Jabatan Analisis Kesihatan, Pontianak yang berpusat di Kalimantan Barat sebagaimana yang terpapar dalam INTEK: Jurnal Penelitian Keluaran Volume 7 (2) pada tahun 2020, didapati bahawa daun kesum yang dimasukkan ke dalam minyak masak dapat mengurangkan asid lemak bebas yang terdapat dalam minyak tersebut. Penemuan ini pastinya memberikan manfaat kepada industri pengeluaran minyak masak, khususnya minyak sawit yang tidak perlu mengeluarkan kos yang besar untuk menjalankan proses penyulingan molekul bagi memisahkan asid lemak bebas yang terdapat dalam minyak sawit mentah berasid lemak tinggi.\nSebagai kesimpulannya, kesum ialah anugerah Tuhan yang tidak ternilai kerana boleh dimanfaatkan dalam pelbagai bidang sama ada dalam bidang masakan, wangian, kesihatan atau perubatan. Walaupun masih banyak lagi gerak kerja saintifik yang perlu dilakukan terhadapnya, namun begitu amalan perubatan tradisional telah membuktikan bahawa kesum mempunyai potensi yang sangat baik kepada penjagaan kesihatan." "Raja Perlis Seru Rakyat Peka dalam Penjagaan Buah Pinggang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 \u201cRakyat perlu mengambil langkah awal untuk menjaga buah pinggang,\u201d titah Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dalam Majlis Perasmian Bangunan Wakaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pusat Perkhidmatan Dialisis, Hospital Tuanku Fauziah (HTF).\nMenurut baginda, buah pinggang merupakan suatu organ yang penting dan berfungsi dalam mencuci darah daripada sisa buangan dan lebihan air yang diperlukan oleh tubuh seseorang. Namun begitu, penjagaan organ ini sering dipandang remeh oleh masyarakat. Masyarakat seharusnya peka akan hal ini kerana penyakit tersebut tidak menunjukkan sebarang simptom yang jelas hinggalah dikesan melalui pemeriksaan kesihatan.\nTambah baginda, sekurang-kurangnya 10 orang penduduk di negara ini setiap hari didiagnosis mengalami kerosakan buah pinggang kronik atau berada pada peringkat lima serta memerlukan rawatan dialisis yang berterusan.\nBeta difahamkan bahawa pusat dialisis ini mempunyai kapasiti 69 buah katil dan mesin dialisis untuk pesakit pada setiap masa. Oleh itu, beta berharap agar pusat dialisis ini mampu menampung jumlah pesakit yang sedia ada dan memberikan keselesaan serta kemudahan yang terbaik kepada semua pesakit.\nSementara itu, menurut Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia, YBrs. Datuk Dr. Mohd Fikri Ujang menyatakan bahawa pusat dialisis yang digunakan bermula 17 Ogos 2020 ini merupakan inisiatif daripada pihak MAIPs dan HTF. Kos pembinaan pusat dialisis ini juga adalah sebanyak RM6.2 juta dan mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan.\nBerangkat sama ialah Raja Perempuan Perlis, DYMM Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut hadir dalam majlis berkenaan juga ialah Menteri Besar Perlis, YAB Dato\u2019 Seri Azlan Man." "Derma Darah Mampu Menyelamatkan Banyak Nyawa \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penderma darah dan penganjur kempen derma darah yang telah banyak membantu mengekalkan bekalan darah, khususnya Hospital Tuanku Fauziah (HTF). Bantuan ini telah banyak menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan.\nBaginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat melancarkan kempen Hari Penderma Darah Sedunia 2022 dalam program Hijrah Minda MAIPs Khas bersempena dengan Perkampungan Sunnah Edisi Ke-7 yang berlangsung dari 17 Jun 2022 hingga 19 Jun 2022 di Masjid Alwi, Kangar semalam.\nProgram ini dianjurkan secara bersama oleh Jabatan Kesihatan Negeri dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Mufti Negeri, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).\nBersempena dengan program tersebut juga, DYTM Raja Muda Perlis yang merangkap Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM11 600 kepada 29 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Alwi, Kangar untuk diagihkan oleh amilnya, Encik Ismail Hashim. Masing-masing akan menerima RM400 setiap seorang.\nSementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Sirajuddin Hashim memaklumkan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mewartakan tarikh 14 Jun pada setiap tahun sebagai Hari Penderma Darah Sedunia. Tema sambutan pada kali ini ialah \u201cDerma Darah, Kukuhkan Perpaduan\u201d.\nMenurut beliau, walaupun bekalan darah di negeri Perlis masih baik, komitmen berterusan daripada penderma darah dan penganjur kempen derma darah sentiasa diperlukan.\nTabung darah di Hospital Tuanku Fauziah memerlukan 160 hingga 200 beg darah seminggu dan hampir 800 beg darah sebulan untuk menampung keperluan pesakit.\nSebelum program ini telah diadakan sesi taklimat berkenaan dengan kempen Rakyat Perlis Hidup Bersih yang disampaikan oleh Pengarah SWCorp Negeri, Shamsuharizal Basir.\nTurut hadir dalam program ini ialah Mufti Perlis,\u00a0 YBhg. Dato\u2019 Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Mufti Negeri Pulau Pinang, YBhg. Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor." "Perihal Kata Pemeri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMenurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2015 : 263), kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemerihal kepada predikat atau perangkai antara subjek dengan frasa utama dalam predikat. Kata pemeri dalam bahasa Melayu ialah kata ialah dan adalah.\n1a.\u00a0 Aminah ialah jururawat.\n1a.\u00a0 Hobinya ialah (aktiviti) berenang\n1b.\u00a0 Warna kegemarannya ialah (warna) putih.\nKata pemeri ialah harus diikuti oleh kata nama, frasa nama atau kata lain seperti kata kerja atau kata adjektif yang dapat berfungsi sebagai frasa nama. Dalam ayat 1a, kata pemeri ialah diikuti kata nama jururawat. Dalam ayat 1b, kata pemeri ialah diikuti kata kerja berenang yang menjadi penerang frasa nama aktiviti berenang. Dalam ayat 1c, kata pemeri ialah diikuti oleh kata adjektif putih yang merupakan penerang bagi frasa nama warna putih.\nKata pemeri adalah harus diikuti oleh kata adjektif atau frasa sendi nama. Sila lihat contoh yang berikut:\n2a.\u00a0 Aminah adalah cerdik.\n2b.\u00a0 Hadiah ini adalah untuk Aminah.\nDalam ayat 2a, kata pemeri adalah diikuti oleh kata adjektif cerdik dan dalam ayat 2b, kata pemeri adalah diikuti frasa sendi nama untuk Aminah. Dalam hal ini, adalah merupakan kata hubung huraian atau kualitatif.\nKata pemeri ialah biasanya hadir dalam ayat yang subjek dan predikatnya bersifat persamaan atau ekuatif. Sila lihat contoh yang berikut:\n3a.\u00a0 Bahasa Melayu ialah bahasa rasmi Malaysia.\n3b.\u00a0 Bahasa rasmi Malaysia ialah bahasa Melayu.\n\u00a0\n4a.\u00a0 Aminah ialah jururawat.\n4b.\u00a0 *Jururawat ialah Aminah.\nAyat 3a bersifat ekuatif. Oleh itu, subjek dan predikatnya dapat diterbalikkan tanpa menjejaskan maksud ayat. Walau bagaimanapun, ayat 4a menampilkan persamaan tetapi tidak betul-betul ekuatif. Oleh itu, makna ayat 4a akan terjejas maksudnya jika kedudukan subjek dan predikatnya diterbalikkan seperti dalam ayat 4b. Hal ini dikatakan demikian kerana bukan semua jururawat ialah Aminah atau bernama Aminah.\u00a0 Dalam hal ini, kata jururawat bersifat umum, manakala kata Aminah bersifat khusus.\nOleh sebab subjek ayat bahasa Melayu mesti terdiri daripada frasa nama, penggunaan silap kata sendi nama antara di hadapan ayat sebagai subjek menjejaskan sifat ekuatif ayat. Sila lihat contoh yang berikut:\n5a.\u00a0 *Antara tetamu yang hadir ialah Aminah.\n5b.\u00a0 Antara lain, tetamu yang hadir ialah Aminah.\n5c.\u00a0 Tetamu yang hadir, antara lain, ialah Aminah.\n5d.\u00a0 Aminah antara tetamu yang hadir.\n5e.\u00a0 Aminah adalah antara tetamu yang hadir.\n5f.\u00a0\u00a0 Aminah termasuk dalam kalangan tetamu yang hadir.\n5g.\u00a0 Tetamu yang hadir meliputi Aminah.\nAyat 5a salah kerana frasa sendi nama antara tetamu yang hadir tidak boleh menjadi subjek ayat. Sebaliknya, frasa sendi nama antara lain harus dijadikan sebagai keterangan tambahan bagi tetamu yang hadir. Frasa itu boleh diletakkan pada awal atau di tengah ayat, seperti dalam ayat 5b dan 5c. Pilihan lain ialah frasa antara tetamu yang hadir dijadikan predikat ayat. Dalam hal ini, kata pemeri adalah boleh ditambah sebagai unsur opsyenal (ayat 5e). Dalam ayat 5f, kata kerja termasuk yang bermaksud \u201ctergolong\u201d dengan frasa sendi nama seperti\u00a0 dalam kalangan boleh ditambah sebagai pilihan. Dalam hal ini, kata pemeri ialah atau adalah tidak boleh dijadikan sebagai unsur iringan dalam ayat. Satu lagi pilihan ialah kita menggunakan kata kerja meliputi, mencakupi atau merangkumi untuk membina variasi struktur dengan makna yang sama ayat (5g).\nOleh sebab kata pemeri adalah tidak boleh diikuti kata hubung, binaan ayat sedemikian dianggap salah. Sila lihat contoh yang berikut:\n6a.\u00a0 *Bantuan itu adalah untuk menyantuni orang miskin.\n6b.\u00a0 *Bantuan itu untuk menyantuni orang miskin.\n6c.\u00a0 Bantuan itu disediakan untuk menyantuni orang miskin.\n6c.\u00a0 Bantuan itu untuk orang miskin.\n6d.\u00a0 Projek itu adalah untuk orang miskin.\nAyat 6a tidak betul kerana kata pemeri adalah tidak boleh diletakkan di hadapan kata untuk yang merupakan kata hubung keterangan tujuan yang berada pada pangkal klausa subordinat keterangan untuk menyantuni orang miskin. Selain itu, ayat itu tidak ada klausa bebas. Ayat 6b masih salah kerana tiada klausa bebas. Ayat 6c betul kerana ayat majmuk itu terdiri daripada klausa bebas dan klausa subordinat. Ayat 6c betul kerana kata untuk ialah kata sendi nama dalam ayat tunggal yang mempunyai struktur Frasa Nama + Frasa Sendi nama. Dalam ayat 6d, kata pemeri adalah merupakan unsur iringan yang opsyenal.\nKata pemeri ialah dan adalah, sebagai kata perangkai antara subjek dengan predikat, bersifat opsyenal, dan boleh digugurkan tanpa menjejaskan struktur binaan ayat. Hal ini berbeza daripada kata perangkai copula seperti is dan are dalam bahasa Inggeris. Sila lihat contoh yang berikut:\n7a.\u00a0 Dia ialah guru.\n7b.\u00a0 Dia guru.\n8a.\u00a0 Dia adalah di sana.\n8b.\u00a0 Dia di sana.\n9a.\u00a0 Mereka adalah pandai.\n9b.\u00a0 Mereka pandai.\n10a.\u00a0 He is a teacher.\n10b.\u00a0 *He a teacher.\n11a.\u00a0 She was over there.\n11b.\u00a0 *She over there.\n11a.\u00a0 They are clever.\n11b.\u00a0 *They clever." "KKM Buka Semula PICKids hingga 24 Jun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi kanak-kanak (PICKids) yang berusia antara lima tahun hingga 11 tahun akan dibuka semula selama lima hari mulai 20 Jun 2022 bersempena dengan sambutan Minggu Imunisasi Peringkat Kebangsaan tahun ini yang bertemakan \u201cPerlindungan Sepanjang Hayat untuk Semua\u201d.\nMenurut Timbalan Menteri Kesihatan I, Yang Berhormat Dato\u2019 Dr. Noor Azmi Ghazali, pembukaan program vaksinasi ini adalah bagi meraikan ibu bapa yang kini berhasrat untuk mendapatkan vaksin COVID-19 bagi kanak-kanak yang terlepas peluang sebelum ini dan sebagai satu daripada keprihatinan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas keselamatan kanak-kanak daripada penyakit cegahan vaksin.\nIbu bapa yang berhasrat untuk mendapatkan vaksinasi ini boleh mendapatkannya tanpa janji temu di klinik kesihatan KKM dalam tempoh tersebut.\nBeliau berkata, pemberian vaksin adalah berdasarkan stok vaksin di sesebuah fasiliti pada hari tersebut dan sekiranya stok pada hari tersebut habis, ibu bapa perlu membawa anak mereka pada keesokan harinya.\nTambah beliau lagi, ibu bapa yang baru mengetahui mengenai vaksinasi COVID-19 ataupun baru membuat keputusan untuk membenarkan anak mereka divaksinasi digalakkan mengambil peluang ini.\nSementara itu, bagi kanak-kanak yang akan mencapai umur lima tahun, ibu bapa masih boleh membuat tempahan janji temu vaksinasi mengikut tarikh dan tempat vaksinasi pilihan melalui aplikasi MySejahtera masing-masing." "Tuberkulosis yang Mudah Berjangkit\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTuberkulosis (tibi) atau batuk kering ialah penyakit berjangkit yang berbahaya. Penyakit ini disebabkan oleh organisma yang dikenali sebagai Mycobaterium tuberculosis. Tibi dikesan oleh ahli arkeologi sejak 9000 tahun dulu di Atlit Yam, sebuah penempatan Neolitik melalui tetulang ibu dan anak yang dikebumikan bersama-sama. Sejarah tentang tibi pula mula didokumentasi sejak 3300 tahun dan 2300 tahun dahulu, masing-masing di India dan China.\nPenyakit tibi merupakan punca kematian nombor satu di Malaysia pada tahun 1940-an dan 1950-an. Pada tahun 2020, sebanyak 1.5 juta orang mati akibat jangkitan tibi di seluruh dunia, manakala di Malaysia pula, dilaporkan insiden jangkitan tibi sebanyak 30 ribu orang. Pada tahun 2018, negeri Selangor mencatatkan kes tertinggi (5071 kes), berikutan jumlah penduduk yang padat serta faktor sosioekonomi yang rendah di bandar dan diikuti oleh negeri Sabah (3122 kes) akibat banyak penduduk bukan warganegara tidak tampil untuk pengesanan awal kerana bimbang diambil tindakan undang-undang.\nPenyakit tibi ialah penyakit yang tidak mengenal usia dan mudah berjangkit. Namun begitu, terdapat rawatan yang terbukti berkesan serta vaksin untuk mencegah jangkitan tibi yang teruk, iaitu penggunaan vaksin Bacille Calmette Guerin (BCG).\n\u00a0\nBagaimanakah Tuberkulosis Merebak? \nBeberapa faktor telah dikaitkan dengan pertambahan bilangan pesakit tibi termasuklah kemiskinan, kekurangan penjagaan dan kemudahan perubatan serta gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok.\nPenyakit tibi mudah merebak dalam kalangan orang yang dijangkiti tibi apabila tinggal bersama, atau berada/terdedah bersama-sama di satu-satu tempat untuk jangka masa yang tertentu seperti di tempat kerja atau asrama pekerja. Tibi merebak melalui udara, iaitu apabila seseorang batuk, bercakap atau menyanyi.\nSelain itu, seseorang yang mempunyai jangkitan virus kurang daya tahan manusia (HIV) 18 kali lebih berisiko menghidap tibi, begitu juga dalam kalangan perokok (1.6 kali faktor risiko) dan pengambilan alkohol (3.3 kali faktor risiko). Risiko jangkitan tibi juga adalah tinggi dalam kalangan mereka yang mempunyai system imuniti yang rendah seperti pengambil ubat-ubatan steroid, pesakit kanser, lupus eritematosus sistemik (SLE), artritis reumatoid dan kencing manis.\nTuberkulosis pulmonari ialah penyakit berjangkit pada paru-paru dan mudah berjangkit. Tibi juga boleh merebak ke bahagian anggota badan yang lain seperti tulang belakang, kelenjar limfa, otak, buah pinggang atau abdomen, namun keadaan ini tidak mudah menjangkiti orang lain.\nTibi tidak merebak melalui perkongsian tandas, ciuman, berkongsi makanan atau minuman, berkongsi pakaian atau tempat tidur atau menyentuh kain pesakit, atau bersalaman.\n\u00a0\nSimptom Tuberkulosis\nTanda-tanda atau gejala seseorang itu dijangkiti tuberkulosis pulmonari adalah seperti yang berikut:\n\u00a0\nAntara tanda jangkitan tibi pada bahagian anggota badan yang lain, selain daripada yang telah dinyatakan di atas adalah:\n\u00c2\u00a0\nRawatan Tuberkulosis\nRawatan tibi dilakukan secara bersemuka oleh doktor dan jururawat terlatih di klinik directly observed treatment (DOTS) semasa fasa intensif. Rawatan tibi di klinik DOTS adalah terbukti berkesan menyembuhkan jangkitan berbanding dengan pengambilan ubat secara sendiri.\nKini, ubat-ubatan tibi yang perlu diambil adalah lebih mudah untuk pesakit berbanding zaman dahulu dan kesan sampingan juga sentiasa diawasi oleh doktor dan jururawat dari semasa ke semasa. Namun demikian, untuk pesakit yang tinggal jauh dari fasiliti kesihatan atau mempunyai kekangan lain untuk hadir secara fizikal untuk mengambil ubat, kini terdapat alternatif pengambilan ubat secara teleperundingan atau video observed treatment (VOT).\n\u00a0\nKawalan dan Pencegahan Tuberkulosis\nCara kawalan jangkitan tibi adalah untuk mengelakkan pendedahan terhadap bakteria tibi sendiri seperti menghindari tempat sesak, menghindari pesakit tibi sehingga mereka tidak lagi boleh menjangkiti dan memastikan sistem pengudaraan yang baik.\nApabila anda mempunyai tanda atau gejala seperti yang dinyatakan, anda perlu ke klinik kesihatan secepat mungkin untuk membuat ujian saringan tibi. Antara ujian yang akan dilakukan ialah X-ray paru-paru, sampel kahak untuk calitan acid fast bacilli (AFB) atau doktor mungkin mengesyorkan ujian Mantoux jika berlakunya jangkitan terhadap kanak-kanak.\nSeseorang yang dijangkiti tibi perlu memberitahu ahli keluarga terdekat ataupun rakan serumah serta rakan sekerja untuk membuat saringan di klinik kerajaan mahupun swasta. Hal ini adalah untuk membendung penyakit ini daripada merebak dengan lebih teruk dan bagi memulakan rawatan seawal mungkin sebelum bakteria tibi merebak ke anggota badan yang lain.\nSetelah disahkan menghidap pulmonari tuberkulosis, anda akan diberikan surat cuti sakit untuk tempoh yang tertentu. Pada masa yang sama, rawatan intensif tibi dimulakan dan tempoh rawatan yang perlu diambil adalah selama enam bulan. Pada kebiasaannya, untuk jangkitan tibi selain daripada paru-paru, tempoh rawatan adalah lebih lama.\nPertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah merangka strategi global menamatkan tibi pada tahun 2030. Namun begitu, hal ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak untuk menjayakannya. Antara strategi berikut yang dirancang bagi usaha ini adalah seperti yang berikut:\n\u00a0\nVaksin dan Tuberkulosis\nDi Malaysia, vaksin BCG diberikan kepada semua bayi yang baru lahir atau kanak-kanak sehingga berumur tujuh tahun. Vaksin ini adalah antara vaksin paling selamat dengan kesan sampingan yang minima. Pemberian vaksin BCG merupakan usaha untuk mengelakkan penyebaran tibi yang serius termasuklah meningitis tuberkulosis (radang pada selaput sekeliling otak dan saraf tunjang), terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Jangkitan tibi dalam kalangan bayi dan kanak-kanak adalah lebih rumit untuk dirawat. Oleh sebab itu, dengan pemberian vaksin BCG, kadar jangkitan tibi dalam kalangan kanak-kanak telah menurun di Malaysia.\nBagi individu yang mempunyai kesan parut di lengan akibat suntikan vaksin BCG, mereka tidak perlu menerima suntikan semula kerana suntikan tersebut tidak memberikan perlindungan tambahan. Vaksinasi semula akan diberikan kepada bayi yang berumur antara tiga bulan hingga 12 bulan, ataupun kanak-kanak yang berumur kurang daripada tujuh tahun, jika tiada kesan parut di lengan (dengan pinpoint kurang daripada atau bersamaan dengan dua milimeter).\nVaksin tibi lebih berkesan untuk mengelakkan jangkitan terhadap kanak-kanak berbanding dengan orang dewasa. Namun begitu, setiap individu masih perlu berikhtiar mengelakkan jangkitan tibi dengan mangambil vaksin BCG.\nPanduan umum untuk mencegah jangkitan tibi adalah seperti yang berikut:\n\u00a0\nProfesor Madya Dr. Nur Amani @ Natasha Ahmad Tajuddin ialah Pakar Perubatan Keluarga dan Pensyarah Kanan di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya." "Program Dermasiswa B40 TVET untuk Golongan B40\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Program Dermasiswa B40 Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) khusus kepada pelajar B40 diperkenalkan bagi membolehkan golongan berkenaan mengikuti pengajian itu di institusi pengajian tinggi awam di bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun ini.\nPerdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob berkata program tersebut diperkenalkan untuk meningkatkan motivasi dan galakan kepada pelajar untuk memilih bidang TVET.\n\u201cSaya yakin program ini menawarkan lebih banyak peluang kepada anak-anak Keluarga Malaysia, terutamanya daripada kumpulan B40 untuk mendapat akses kepada pendidikan pada peringkat yang lebih tinggi dan seterusnya membina kerjaya dalam bidang TVET.\u201d\nBeliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya bersempena dengan Majlis Perasmian Minggu TVET Negara 2022 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor.\u00a0Tambahnya lagi, TVET telah dikenal pasti sebagai satu daripada 14 pemacu perubahan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) kerana sudah sampai masanya TVET menjadi pilihan utama para belia dalam mempersiapkan diri mereka untuk masa hadapan.\nBeliau juga mengharapkan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan ini menjadi titik tolak kepada usaha mencorak semula landskap TVET negara agar setanding dengan maju yang lain.\nDalam majlis yang sama, YAB Perdana Menteri turut mengisytiharkan tarikh 2 Jun pada setiap tahun sebagai Hari TVET Negara.\nMenurut YAB Perdana Menteri, tarikh ini wajar disambut pada setiap tahun bagi menghargai sumbangan pelbagai pihak yang berkaitan dengan TVET.\n\u201cTarikh ini juga ditetapkan bersempena dengan penubuhan Politeknik Ungku Omar yang merupakan institusi penyediaan TVET terawal negara sejak tahun 1969.\nSelain pengisytiharan Hari TVET Negara, penganjuran Sambutan Minggu TVET Negara juga antara tindakan dalam Pelan Penjenamaan TVET Nasional.\nSementara itu, menerusi hantaran dalam laman Facebook Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin, beliau menjelaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia amat komited dalam usaha memperkasakan bidang TVET, khususnya di kolej vokasional (KV) dan sekolah teknik.\n\u00a0\nTambah YB Menteri Kanan Pendidikan lagi, pelbagai pendekatan akan dilaksanakan agar masyarakat lebih memahami dan mendapat gambaran yang lebih jelas tentang potensi bidang kemahiran TVET yang ditawarkan di KV.\nTurut hadir dalam majlis ini ialah Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan; Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB Dato\u2019 Sri Mahdzir Khalid; dan Menteri Belia dan Sukan, YB Dato\u2019 Sri Faizal Azumu.\n(Sumber foto: Facebook Dr Radzi Jidin)" "MEASAT 3-d Bakal Tambah Baik Perkhidmatan Internet Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Satelit MEASAT 3-d yang akan dilancarkan pada Khamis ini bakal menambah baik perkhidmatan Internet dan kadar ketersambungan capaian Internet, terutamanya di kawasan luar bandar.\nMenteri Komunikasi dan Multimedia, YB Tan Sri Annuar Musa berkata MEASAT 3-d merupakan satelit kelapan yang akan dilancarkan dan merupakan jenis Geostationary Equatorial Orbit atau GEO.\nTambahnya, satelit ini mempunyai tapak liputan yang luas dan berkemampuan untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar yang pantas dan menyokong aliran tinggi data yang dikenali sebagai High Throughput Satellite (HTS).\nHTS adalah antara perkhidmatan penting dalam penyediaan perkhidmatan jalur lebar tinggi, terutamanya di kawasan pedalaman dan Internet kelajuan tinggi akan ditambah baik daripada kelajuan muat turun 30 MBps kepada 100 MBps yang membolehkan penstriman kandungan tinggi data seperti video 4K/8K.\nBeliau juga berkata MEASAT 3-d mampu memperkukuh era digital Malaysia berteraskan teknologi talian tetap, mudah alih dan satelit tanpa meminggirkan mana-mana kelompok rakyat melalui pelancaran satelit baharu ini.\n\u201cPenyedia perkhidmatan telekomunikasi lain juga boleh menggunakan satelit ini untuk menawarkan perkhidmatan data, suara dan video kepada tiga peratus hingga lima peratus populasi yang belum lagi diliputi oleh sambungan fiber atau jalur lebar tanpa wayar seperti yang ditawarkan oleh MEASAT melalui perkhidmatan jalur lebar satelit CONNECTme NOW,\u201d ujarnya melalui kenyataan media semalam.\nSelaras dengan inisiatif kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), MEASAT 3-d dapat merapatkan jurang ketersambungan digital dan membentuk masa depan ketersambungan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia dengan mengembangkan liputan Internet berkelajuan tinggi di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai sambungan supaya mencapai 100 peratus kesalinghubungan Internet sekali gus membolehkan rakyat menikmati kemudahan Internet dengan lebih baik.\nBeliau juga berkata dengan akses Internet yang stabil dan pantas, keluarga Malaysia boleh memperoleh pelbagai manfaat sosioekonomi seperti penyertaan dalam aktiviti e-dagang dan pembelajaran digital.\nMEASAT 3-d bakal dilancarkan pada Khamis ini pada pukul 5.03 pagi waktu tempatan French Guiana, Amerika Selatan. Pelancaran ini boleh disaksikan secara langsung menerusi Facebook Berita RTM." "Cacar Monyet Muncul Semula\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam tempoh tiga tahun yang lalu, dunia telah mengharungi dua wabak global yang sangat berbeza, iaitu influenza dan jangkitan koronavirus. Tidak seperti virus SARS-CoV-2 (COVID-19) pada awalnya, jangkitan cacar monyet yang sedang melanda dunia pada masa ini menjadikan dunia sudah bersedia untuk menempuh wabak dengan vaksin yang sangat berkesan dan dirumuskan untuk melindungi diri daripada cacar (smallpox).\nKemunculan cacar monyet kali terakhir adalah sekitar tahun 2017 hingga 2018. Negara Singapura melaporkan satu kes import daripada warga Nigeria pada tahun 2019 dan pada 20 Jun 2022, cacar moyet telah dikesan semula di negara itu. Maklumat menunjukkan bahawa punca jangkitan ialah daripada memakan daging hidupan liar (bushmeat), yakni satu daripada bentuk klasik jangkitan penyakit zoonosis iaitu jangkitan daripada haiwan kepada manusia. Untuk jangkitan cacar monyet yang terbaharu pula, kes tersebut melibatkan kes import warga British yang bekerja sebagai pramugara dan 13 kontak rapat telah dijejaki.\nCacar monyet ialah sejenis penyakit cacar bawaan primat. Penyakit ini jarang-jarang berlaku dan disebabkan oleh jangkitan virus cacar monyet. Secara kronologinya, cacar monyet merupakan jangkitan haiwan di belantara, menular kepada manusia dan kemudiannya daripada manusia kepada manusia. Tidak seperti namanya, hanya sedikit sahaja virus cacar monyet berlaku dalam kalangan perumah primat. Sebahagian besarnya berlaku kepada haiwan rodensia seperti tikus gergasi Gambia dan tupai. Pada tahun 2003, sebanyak 40 kes jangkitan cacar monyet kepada manusia telah dilaporkan disebabkan oleh jangkitan daripada anjing prairie.\nSimptom cacar monyet menyerupai cacar manusia. Simptomnya berlarutan selama 14 hari hingga 21 hari yang melibatkan demam, sakit kepala yang kuat, sakit belakang, lenguh anggota badan, sengal di bahagian sendi dan lesu. Ciri lesi penyakit tipikal menyerupai cacar air, iaitu bintil berair, bermula daripada radang dan ruam kulit di bahagian muka dan merebak ke seluruh bahagian tubuh dengan lesi papul, vesikel dan pustul, dan akhirnya meninggalkan keruping. Berbanding dengan cacar, penyakit ini adalah kurang teruk dan ciri pembezaannya ialah cacar monyet menyebabkan pembesaran nodus limfa. Kes kematian bagi cacar monyet, khususnya di negara endemik Afrika adalah tidak lebih daripada 10 peratus.\nKemunculan baharu penyakit ini dikatakan mempunyai kaitan dengan menurunnya kes cacar di dunia. Jangkitan cacar yang disebabkan oleh virus variola adalah satu daripada penyakit yang paling ditakuti. Kes cacar terakhir yang diketahui berlaku pada tahun 1977 di Somalia. Wabak ini akhirnya telah berjaya dibasmi sejak tahun 1980 hasil daripada kempen pemvaksinan sejagat yang diterajui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).\nPembasmian jangkitan cacar adalah satu-satunya kejayaan dan pencapaian penting kesihatan awam dunia. Namun demikian, dengan pengurangan pemvaksinan yang berterusan, imuniti populasi manusia terhadap cacar juga merosot dan membuka peluang untuk risiko jangkitan oleh virus yang berkaitan dengan cacar lain, termasuklah cacar monyet. Seperti virus vaksinia yang digunakan dalam vaksin cacar dan virus cacar lembu, virus cacar monyet tergolong dalam genus yang sama, iaitu Orthopoxvirus dalam keluarga virus Poxviridae.\nRepublik Demokratik Congo merupakan \u201ctuan rumah\u201d asal kepada penyakit cacar monyet. Penyakit ini pertama kali ditemui pada tahun 1958 apabila dua wabak penyakit seperti cacar berlaku dalam koloni monyet yang disimpan untuk penyelidikan. Keadaa ini berlaku dalam tempoh dua tahun selepas kes cacar terakhir di negara itu dilaporkan, iaitu pada tahun 1970.\u00a0 Sejak itu, virus cacar monyet telah menyerang manusia di beberapa buah negara Afrika Tengah dan Afrika Barat seperti Cameroon, Republik Afrika Tengah, C\u00f4ste d\u2019Ivoire, Sierra Leone, Sudan, Gabon, Liberia, Nigeria, dan Liberia. Negara ini akhirnya menjadi endemik kepada cacar monyet.\nKemunculan semula wabak cacar monyet pada tahun ini telah mencetuskan kebimbangan baharu disebabkan oleh virus ini jarang-jarang berlaku di luar Afrika. Keadaan ini adalah berbeza dengan kes pada tahun 2018 dan tahun 2019 yang kebanyakannya tidak mempunyai kaitan dengan perjalanan ke benua itu.\nSetakat bulan Mei 2022, WHO melaporkan kes dari 28 buah negara endemik Afrika itu dengan lebih daripada 1500 kes disyaki. Daripada lapan buah negara tersebut, sebanyak 59 kes telah disahkan dengan 72 kematian. Data ini kelihatan seperti biasa pada setiap tahun, tetapi apabila wabak cacar monyet berlaku dalam negara yang virusnya tidak lazim, hal ini telah membuatkan pihak berkuasa kesihatan antarabangsa bimbang dan berada dalam kedudukan berjaga-jaga.\nAdakah cacar monyet akan mengikut jejak wabak Covid dan menjadi endemik? Persoalan itu mempunyai asasnya. Persekitaran endemik cacar monyet di Afrika telah berkembang antara benua dan jangkitan dilihat semakin meningkat. Sebanyak 85 peratus kemunculan baharu wabak sekarang berlegar-legar di sekitar Eropah dan diikuti oleh negara Amerika Syarikat, Timur Mediterranean dan Australia. Sejumlah 1600 kes telah dilaporkan dan kebanyakan kes berlaku dalam kalangan pasangan homoseksual dan berkait rapat dengan sejarah perjalanan ke negara tersebut. Hal ini telah membangkitkan stigma terhadap golongan lesbian, homoseksual, biseksual dan trans transjantina dengan wabak virus kurang daya tahan manusia (HIV) pada tahun 1980-an.\nKajian genom mendapati virus cacar monyet berasal daripada kes lama (tahun 2017 hingga 2019) yang berasal dari Singapura, United Kingdom, Israel dan Nigeria. Hal ini bermaksud dalam masa tiga atau empat tahun lepas, jangkitan cacar monyet tidak dikesan dengan cekap atau terdapat kemungkinan virus tersebut telah berevolusi. Namun begitu, kemungkinan untuk virus bermutasi adalah rendah disebabkan virus ini ialah virus asid deoksibonukleik (DNA) dan genomnya stabil sejak sekian lama, berbanding dengan virus korona, SARS-CoV yang terdiri daripada asid ribonukleik (RNA) yang berevolusi dengan cepat.\nVirus ini mempunyai dua klados, iaitu klados Afrika Barat (WA) seperti kes yang dikesan di Amerika Syarikat dan Singapura pada tahun 2019 dan klados Congo Basin (CA) bagi wabak yang berlaku di Afrika. Perbezaan kedua-dua klados ini ialah virus klados Afrika Barat adalah kurang ganas dan nisbah kes kematian (CFR) adalah kurang daripada satu peratus berbanding dengan virus cacar monyet klados CA dengan CFR melebihi 10 peratus.\nBentuk klinikal cacar monyet dalam wabak terbaharu tidak lagi mempamerkan gambaran klinikal klasik itu lagi. Ciri tidak tipikal tetapi ketara termasuklah lesi yang sedikit (kadang-kadang hanya satu) lesi bermula dari alat kelamin dan dubur dan terhad di kawasan itu, fasa perkembangan lesi yang tak segerak dan kemunculan lesi terkehadapan daripada simptom am serta daripada pembengkakan nodus limfa. Hal ini menyebabkan pada awalnya cacar monyet disangkakan sebagai sejenis penyakit kelamin seperti HIV.\nLaluan jangkitan cacar monyet melalui hubungan seks dikatakan masih belum dipastikan, walaupun diketahui bahawa sentuhan fizikal dengan kontak rapat boleh menyebabkan perebakan. Dalam kajian yang dilakukan oleh penyelidik Itali dan German, mereka mendapati bahawa virus yang terdapat dalam air mani dapat menjangkiti orang lain dan membiak.\nSecara umumnya, beberapa buah negara telah memberikan pemvaksinan sebagai rawatan profilaksis, khusus kepada penghidap penyakit cacar monyet. WHO juga telah mengeluarkan garis panduan pemvaksinan untuk cacar monyet sebagai langkah siap siaga kebimbangan wabak ini akan menjadi endemik seperti wabak COVID-19. Dalam keadaan sekarang, risiko jangkitan cacar monyet kepada orang awam belum cukup membimbangkan untuk pemvaksinan massa seperti COVID-19 dengan mengambil kira kesan sampingan dan bekalan vaksin. Hal ini disebabkan oleh kaedah penularan patogen cacar monyet adalah berbeza yang membuatkan langkah kawalannya lebih mudah berbanding dengan wabak COVID-19. Namun begitu, sekiranya virus terus merebak dalam populasi rentan seperti kanak-kanak dan wanita mengandung atau menyebabkan kadar kematian yang tinggi, perkiraan risiko-faedah boleh berubah.\nBeberapa buah negara di dunia ini dilaporkan masih menyimpan bekalan vaksin cacar, namun penggunaan vaksin generasi pertama ini tidak disarankan pada masa ini. Hal ini dikatakan demikian kerana vaksin tersebut belum menepati piawai keselamatan dan pembuatan. Vaksin cacar generasi kedua atau ketiga mungkin lebih selamat dan berguna untuk menentang cacar monyet. Dilaporkan juga vaksin generasi kedua bagi cacr monyet masih tidak cukup berkesan di samping memberikan kesan sampingan tertentu.\nAntara vaksin cacar yang berkaitan ialah virus vaksinia terubah suai (buatan Kanada dan Kesatuan Eropah) dan orthopoxvaccine keluaran Amerika Syarikat. Kelebihan vaksin ini ialah virus vaksin tidak mampu untuk membiak dalam individu yang divaksin berbanding dengan vaksin cacar asal. Bekalannya terhad dan capaiannya sedang dibincangkan oleh penguasa kesihatan antarabangsa. Namun demikian, WHO menyatakan pemvaksinan tidak disarankan sehingga ditentukan penilaian risiko bagi hal tersebut.\nNegara Kanada, United Kingdom dan Amerika Syarikat telah melaksanakan strategi pemvaksinan sekitar (ring vaccination) untuk menyekat perebakan virus. Hal ini melibatkan pemvaksinan vaksin cacar kepada individu yang telah terdedah kepada cacar monyet melalui kontak rapat dengan orang yang telah terjangkit. Strategi ini memerlukan pengesanan kontak kepada mereka yang telah terdedah dengan kontak rapat.\nWalau bagaimanapun, strategi ini mungkin mempunyai cabaran. Walaupun vaksin tersebut mungkin selamat dan berkesan digunakan untuk mencegah cacar, namun belum lagi terdapat kajian yang lengkap tentang keberkesanannya. Strategi itu juga bergantung kepada pengesanan kontak atau kontak rapat, yang tidak semua negara mampu lakukan di samping individu berkenaan juga harus bersetuju dan menerima untuk divaksin. Hal ini mungkin jarang-jarang berlaku tetapi masih dianggap serius. Keadaan ini hampir sama semasa dunia memperkenalkan pemvaksinan untuk COVID-19." "Ambil Peluang Melakukan Saringan Kesihatan \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Perlis \u2013 \u201cMelalui pemeriksaan kesihatan, faktor risiko kesihatan individu akan dapat dikenal pasti dan rakyat akan dapat mengambil tindakan pencegahan dan pemulihan yang bersesuaian.\u201c\nDemikian titah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menerima mengadap hormat Presiden Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa\u2019 Malaysia, Ustaz Shofwan Badrie Ahmad Badrie baru-baru ini.\nMenurut baginda, selain mengamalkan cara hidup sihat, rakyat Perlis juga diseru supaya melakukan saringan kesihatan setiap tahun, iaitu pemeriksaan kesihatan secara berkala. Rakyat di negeri ini diharapkan dapat membudayakan amalan hidup sihat dari sudut fizikal dan mental serta dapat terus menjadikan persekitaran negeri ini sebagai persekitaran idaman setiap orang.\nBersempena dengan majlis tersebut, baginda berkesempatan untuk meninjau kawasan Program Transformasi Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai, Kuala Perlis hasil inisiatif daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis berserta pelbagai agensi dan syarikat swasta, masyarakat setempat serta individu perseorangan. Baginda diiringi oleh Ustaz Shofwan Badrie yang juga merupakan seorang pendakwah terkenal dan pernah mendapat pendidikan di Kolej Ilmu Islam dan Bahasa Arab di Universiti Imam Muhammad Saud, Jakarta sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Islam Madinah.\nBagi golongan B40, pemeriksaan kesihatan ini adalah percuma dan sekiranya perlu, mereka akan dirujuk kepada pihak tertentu untuk pemeriksaan lanjut. Oleh itu, semua rakyat Perlis diseru agar mengambil peluang untuk melakukan saringan kesihatan bagi menjamin kesejahteraan kesihatan diri masing-masing." "Pengukuhan Ekonomi Biru Asas Kelestarian Lautan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLautan merupakan ekosistem terbesar di planet bumi yang meliputi kira-kira 71 peratus daripada permukaan bumi. Tidak dapat disangkal lagi bahawa laut menjadi sistem sokongan utama kehidupan di bumi, terutamanya kepada manusia. Malaysia ialah negara bertuah kerana negara ini mempunyai garis pantai yang panjang. Malaysia disempadani dengan Laut Andaman, Selat Melaka, Teluk Thailand, Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi.\nSehubungan dengan itu, lautan yang mengelilingi Malaysia menyumbang secara signifikan sebagai sumber ekonomi utama yang telah menjadi hub perdagangan global dan aktiviti ekonomi, khususnya dalam sektor perkapalan, pelancongan, perikanan serta minyak dan gas luar pesisir. Selain itu, lautan Malaysia juga menjadi rumah kepada kepelbagaian biologi yang luar biasa dan ekosistem yang unik merangkumi hutan bakau, terumbu karang dan rumput laut serta sumber semula jadinya menawarkan nilai tersendiri dalam menyokong pembangunan mampan.\nWalau bagaimanapun, aktiviti seharian manusia telah menjejaskan daya tahan persekitaran marin dan sumbernya. Sebagai contohnya, pencemaran plastik di lautan yang membahayakan hidupan laut dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan manusia masih berlarutan hingga kini. Lebihan penggunaan plastik juga telah mengakibatkan lambakan sisa buangan plastik di tapak pelupusan.\nAmalan pengurusan dan pelupusan sampah plastik yang tidak sistematik telah menyebabkan kehadiran plastik di lautan sehingga Malaysia disenaraikan sebagai antara negara di dunia yang menyumbang kepada sumber plastik yang besar di lautan. Hal ini bukan sahaja mencetuskan kesan yang buruk terhadap alam sekitar dan juga kesihatan dan kesejahteraan manusia dan hidupan laut, malah turut menjejaskan imej Malaysia di mata dunia. Kemerosotan alam sekitar marin dan pantai juga berpunca daripada aktiviti ekonomi seperti perkapalan dan pelancongan.\nPeningkatan pencemaran dan pembangunan pantai yang tidak mampan adalah antara isu yang menyumbang kepada kehilangan biodiversiti dan perubahan dalam ekosistem seperti rantaian makanan dan fungsi ekologi. Isu ini perlu ditangani demi kelestarian sumber laut serta kestabilan pembangunan sektor maritim negara. Berdasarkan pemerhatian, kekangan pentadbiran dan pengurusan sumber lautan, terutamanya dalam konteks urus tadbir perlu diberi perhatian.\nPada masa ini, pendekatan pengurusan dipraktikkan adalah kurang teratur dan tidak sistematik dengan kewujudan birokrasi dalam pentadbiran sedia ada yang tertumpu kepada perancangan yang tidak selari dengan pelaksanaan. Oleh itu, menjadi keperluan pihak tertentu untuk menerima pakai dan melaksanakan keseimbangan yang lebih mampan antara pertumbuhan ekonomi dan mengekalkan kesejahteraan lautan yang berkait rapat dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertujuan mengurus dan melindungi ekosistem marin secara mampan.\nKini, kita sedang memasuki dekad baharu SDG (2021\u20132030) seperti yang diisytiharkan oleh PBB. Sebagai negara anggota PBB, Malaysia menunjukkan komitmen sepenuhnya terhadap lautan yang mampan menjelang tahun 2030 dengan memasukkan pelaksanaan SDG 14 dalam Rancangan Malaysia ke-11 untuk tempoh 2016 \u20142020.\nSebagai sebuah negara maritim, Malaysia komited untuk menerapkan konsep Ekonomi Biru sebagai keperluan utama untuk mencapai keseimbangan selain merupakan prasyarat untuk menyokong pertumbuhan sosioekonomi dan merealisasikan lautan yang mampan menjelang tahun 2030. Konsep ini dilihat menjamin perancangan dan pengurusan yang betul bagi ruang laut Malaysia yang dimaksudkan untuk industri perikanan, tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan maritim, pengurusan sisa, pelancongan, dan perubahan iklim seperti yang digariskan oleh Bank Dunia.\nMalaysia memegang mandat untuk memupuk pembangunan dalam bidang pembangunan lautan dan hal ini boleh dijayakan dengan menyepadukan konsep Ekonomi Biru. Seterusnya, dalam Rancangan Malaysia ke-12 (tempoh 2021-2025), konsep Ekonomi Biru diletakkan di bawah dimensi kelestarian alam sekitar, antara lain termasuklah teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui serta penyesuaian dan mitigasi perubahan iklim.\nPada terasnya, pengurusan lautan yang mampan dan saksama bergantung pada pelaksanaan dasar yang proaktif diikuti dengan proses tadbir urus yang inklusif. Antara ciri tadbir urus baik ialah kesediaan menghadapi cabaran dengan berkesan di samping memenuhi aspirasi dan kepentingan penggunanya. Langkah ini boleh dilaksanakan dengan merumuskan rangka kerja bersepadu meliputi pengukuhan bersama-sama pertumbuhan ekonomi dan pemuliharaan lautan.\nSecara amnya, tadbir urus lautan perlu berpandukan perlembagaan lautan terkandung dalam Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982. UNCLOS adalah asas kepada tindakan melindungi persekitaran laut dari segi penggunaan dan pemuliharaan sumber laut serta hak perundangan dan ruang lautan saling berkaitan dan perlu dipertimbangkan secara keseluruhan. Bahagian XII UNCLOS menggariskan panduan khusus untuk perlindungan alam sekitar marin daripada kesan berbahaya ditimbulkan secara langsung oleh kegiatan manusia, termasuklah sumber pencemaran berasaskan laut, darat dan udara.\nKeseragaman dalam tadbir urus lautan diyakini dapat menangani isu, terutamanya dalam pembahagian ruang lautan laut, di samping mengawal aktiviti manusia di lautan secara holistik. Pengukuhan ekonomi biru demi kelestrarian lautan ini memerlukan sokongan penuh daripada kerajaan dan pihak berkepentingan bagi memacu pelaksanaan dan kemajuan, misalnya mewujudkan mekanisme pentadbiran untuk pengurusan bersepadu lautan.\nSelain itu, adalah amat kritikal untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai kesan tindakan manusia terhadap lautan serta pendedahan pengurusan mampan lautan dunia. Kesedaran masyarakat mengenai kepentingan laut kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan hidup amat penting kerana tanggungjawab melindungi dan memelihara ekosistem laut merupakan tanggungjawab bersama bagi memastikan persekitaran marin yang sihat, berdaya tahan dan produktif.\n\u00a0\nDr. Izyan Munirah Mohd Zaideen ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Maritim, Universiti Malaysia Terengganu." "Ketahui Sumber dan Pengekstrakan Kolagen\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nApabila sebut sahaja perkataan kolagen, pasti kebanyakan orang mengetahui bahawa kolagen banyak digunakan dalam produk kosmetik dan makanan tambahan. Sebenarnya, apakah kolagen dan kelebihannya sehinggakan ramai yang berminat untuk membeli atau menggunakan produk yang berasaskan kolagen ini?\nKolagen merupakan protein penting yang terdapat pada kulit, rawan dan tulang. Perkataan kolagen berasal daripada perkataan Yunani, iaitu kola yang bermaksud gam dan gen yang bermaksud menghasilkan. Terdapat 28 jenis kolagen yang telah dikenal pasti dan setiap jenis kolagen ini memberikan fungsi yang tersendiri.\nSumber Kolagen\nKolagen boleh diekstrak daripada sumber haiwan. Sumber kolagen daripada haiwan seperti lembu dan khinzir digunakan secara meluas dalam produk berasaskan kolagen kerana kandungan kolagennya yang tinggi. Walau bagaimanapun, penggunaan kolagen daripada lembu dan khinzir berisiko terhadap penularan pelbagai jenis penyakit seperti bovine spongiform encephalopathy (BSE), transmissible spongiform encephalopathy (TSE) dan penyakit kuku dan mulut (FMD).\nDi samping itu, individu yang beragama Islam dan Hindu tidak memakan atau menggunakan produk berasaskan khinzir atau lembu kerana larangan agama masing-masing. Halangan ini menyebabkan kebanyakan orang mencari alternatif sumber kolagen lain, iaitu organisma laut seperti ikan, obor-obor, gamat, dan sebagainya. Antara sumber utama kolagen semula jadi ialah ayam, lembu, khinzir, obor-obor, ikan, dan penyu.\nKolagen ikan merupakan kolagen yang halal untuk digunakan. Selain isi ikan, sisa pepejal ikan seperti kulit, tulang, sisik, dan sirip merupakan bahagian yang kaya dengan sumber kolagen. Industri pemprosesan ikan menjana sekitar 50 peratus hingga 80 peratus sisa pepejal dan cecair semasa pemprosesan ikan. Sisa tersebut tidak digunakan tetapi dibakar atau dibuang ke dalam longkang ataupun sungai yang menyebabkan masalah pencemaran yang serius kepada alam sekitar.\nPengekstrakan Kolagen\nProses pengekstrakan kolagen boleh dilakukan dengan menggunakan teknik hidrolisis kimia dan hidrolisis enzim. Kaedah penghasilan kolagen juga sangat mudah tetapi memerlukan persekitaran yang sejuk, iaitu empat darjah Celsius dan mengambil masa yang agak lama untuk mengekstrak keluar kolagen daripada sumbernya. Hal ini bergantung pada bahan asas yang digunakan.\nKaedah yang paling biasa digunakan untuk mengekstrak kolagen adalah dengan menggunakan kaedah kolagen larut asid. Kaedah ini dimulai dengan pembuangan bahagian yang bukan kolagen pada bahan asas dengan menggunakan alkali dan seterusnya pengekstrakan kolagen dijalankan dalam keadaan berasid. Asid yang selalu digunakan dalam pengekstrakan kolagen ialah asid asetik atau cuka yang biasa digunakan dalam masakan. Kemudian, larutan kolagen di dalam asid dicampurkan dengan garam untuk membentuk pepejal kolagen. Akhir sekali, pepejal kolagen ini akan dikumpulkan, ditulenkan dan dikeringkan dengan menggunakan kaedah beku kering dan boleh terus digunakan untuk pelbagai aplikasi.\nSementara itu, kaedah yang sama juga digunakan untuk kaedah hidrolisis enzim dengan tambahan enzim di dalam larutan asid semasa proses pengekstrakan. Kaedah ini akan menghasilkan kolagen peptida yang mempunyai struktrur kolagen yang lebih kecil dan mudah dihadam dan diserap di dalam kulit dan badan.\nSelepas kolagen diekstrak, beberapa analisis perlu dilakukan untuk memastikan jenis kolagen yang terhasil. Setiap sumber kolagen mempunyai jenis kolagen yang berbeza. Setiap jenis kolagen mempunyai kebaikan yang tersendiri dan boleh dipadankan dengan aplikasi atau industri yang sesuai. Sebagai contohnya, ikan tilapia dikelaskan sebagai kolagen jenis I yang mempunyai fungsi untuk menghidratkan kulit dan sesuai untuk digunakan dalam bidang kosmetik. Kolagen daripada ayam pula telah direkodkan mempunyai kolagen jenis II yang baik untuk sakit sendi. Kolagen jenis ini juga boleh digunakan dalam industri makanan.\nAplikasi Kolagen\nSecara umumnya, kolagen telah lama diketahui dan digunakan dalam formulasi kosmetik sebagai pelembap kerana mempunyai sifat penyerapan pada kulit yang lebih baik di samping ciri antipenuaan dan antikedutan untuk kecantikan kulit.\nTerdapat pelbagai jenis produk kosmetik dan makanan tambahan yang menggunakan kolagen untuk menarik minat pembeli bagi membeli sesuatu produk tersebut supaya kekal muda dan mendapatkan kulit yang sihat dan cantik. Kepelbagaian fungsi kolagen juga menyebabkan kolagen menjadi pilihan dan digunakan di pelbagai industri seperti industri kejuruteraan tisu, farmaseutikal dan industri makanan.\nJadual Penggunaan kolagen dalam bidang makanan, kosmetik, farmaseutikal, dan kejuruteraan tisu.\n\u00b7 Makanan tambahan kolagen\n\u00b7 Penggayaan dan penjagaan rambut\nSebagai kesimpulannya, sumber kolagen diperoleh daripada tiga sumber utama, iaitu ikan, lembu dan khinzir. Kolagen juga digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang penyelidikan. Walau bagaimanapun, lambakan produk yang mengandungi kolagen perlu diberikan perhatian oleh pengguna. Kesan penggunaan kolagen adalah berbeza-beza dan bergantung pada kandungan jumlah molekul kolagen, jenis dan kadar penyerapan oleh sistem badan manusia." "Waspada Tanda Tsunami \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSimpang Empat \u2013 \u201cSebelum tsunami berlaku, ketahuilah tanda tsunami dan kenali persekitaran anda serta laluan evakuasi. Sekiranya berlaku tsunami, jauhi kawasan pantai jika berada di daratan dan sekiranya berada di lautan, jauhi kawasan pesisir pantai. Jangan membawa barangan yang membebankan. Hubungi pihak berkuasa dan saudara-mara jika kemudahan komunikasi masih belum terputus serta cuba mendapatkan benda yang mudah terapung.\u201d\nDemikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan meninjau tiang siren Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) yang baru sahaja dipasang oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) di pekarangan Masjid Ameer Fawwaz, Sungai Baru, Simpang Empat baru-baru ini selepas berkenan berangkat menghadiri Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke-16 bagi tahun 2022 di masjid tersebut, petang semalam.\nBersempena dengan program tersebut, baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan zakat MAIPs berjumlah RM11 600 kepada 29 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid tersebut untuk diagihkan oleh amilnya, Mohd Shokkeri Ismail.\nTurut hadir dalam program ini ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Nurulhisham Yaakob yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Empat, Mufti Perlis, Dato\u2019 Arif Perkasa Profesor Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor." "Khairy Jamaluddin Iringi Raja Muda Perlis Santuni Asnaf\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Perlis \u2013 Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin mengiringi Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam acara berbasikal melawat sekitar Projek Diraja Program Transformasi Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai Kuala Perlis yang diinisiatifkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.\nKayuhan berkenaan diadakan bersempena dengan Karnival Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Negeri Perlis 2022 anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Perlis yang disekalikan dengan aktiviti Kayuhan MAIPs Peduli ke-46 bagi tahun 2022.\nAntara lokasi menarik yang disinggahi ialah Rumah Mural Air Terjun Kampung Tandiap, Jambatan Tuanku Syed Putra, Laman Laksa, Surau Lama dan Anjung Persinggahan Diraja, Laman Bunga Raya, perasmian Rumah Sihat \u2013 Ubat dan Rumah Sihat \u2013 Gigi serta Gelanggang Futsal Pulau Ketam sebelum berlepas ke Laman Woodball MPK Dataran Dato\u2019 Sheikh Ahmad Kangar.\nTitah DYTM Raja Muda Perlis selepas berkenan menutup program tersebut, baginda mengingatkan bahawa pesakit diabetes, darah tinggi, dan kolesterol tinggi memerlukan rawatan seumur hidup selain berhadapan dengan komplikasi seperti strok, kegagalan fungsi buah pinggang, saluran jantung tersumbat, dan kebutaan. Menurut baginda lagi,\nSememangnya menjadi tanggungjawab Jabatan Kesihatan untuk memberikan rawatan kepada pesakit, tetapi amalan cara hidup individu yang berkaitan dengan penyakit kronik tersebut dipengaruhi oleh pelbagai faktor persekitaran. Penyakit ini boleh dicegah sekiranya setiap individu mengamalkan cara hidup yang sihat, iaitu kekal aktif, makan secara sihat, tidak merokok, serta tangani stres dengan bijak.\nSementara itu, YB Khairy Jamaluddin berkata usaha dan peranan yang telah dimainkan oleh Tuanku Raja Muda Perlis dalam menjayakan Projek Diraja berkenaan adalah bertepatan dengan hasrat Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menjadikan elemen penentu kesihatan seperti sosial, ekonomi dan persekitaran termasuklah kebersihan serta keceriaan diberikan perhatian dalam menjayakan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).\nSempena program yang disekalikan dengan aktiviti Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan ke-46 bagi tahun 2022, DYTM Raja Muda Perlis turut berkenan menyantuni tiga buah rumah asnaf untuk menyampaikan sumbangan MAIPs.\nTerdahulu, baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan berjumlah RM21 000 untuk diagihkan kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al Munawwarah, Sungai Bugis." "Bahasa Melayu Wajar Diangkat ke Persada Antarabangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2212 Pertemuan YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, selaku Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, bersama-sama YBhg. Dato\u2019 Goh Hin San dan YB Senator Tan Sri Dato\u2019 Seri Utama Dr. Rais Yatim, iaitu Yang di-Pertua Dewan Negara serta wakil daripada GAPENA dan juga pakar-pakar bahasa yang lain dengan YAB Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob telah membuka lembaran baharu dalam sejarah bahasa Melayu. Dalam pertemuan tersebut, cadangan supaya bahasa Melayu disatukan sebagai satu bahasa serumpun disambut baik oleh YAB Perdana Menteri dan beliau telah mencadangkan agar bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN.\nYBhg. Dato\u2019 Goh Hin San, iaitu Presiden Persatuan Kebudayaan Han Malaysia, yang juga merangkap Presiden Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF) sangat berbangga kerana YAB Perdana Menteri amat peka dan prihatin terhadap perkembangan bahasa Melayu di dalam dan di luar negara serta di peringkat antarabangsa. Tambah beliau, bahasa Melayu sudah menjadi bahasa lingua franca sejak berabad-abad yang lalu di rantau Nusantara yang disebut sebagai Austronesia.\nMenurut beliau, walaupun terpisah oleh sempadan politik dan selepas kemerdekaan Indonesia misalnya, negara tersebut telah menukarkan bahasa Melayu kepada bahasa Indonesia manakala Malaysia telah menukarkan bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia selepas 13 Mei 1969. Namun begitu, akarnya tetap berasal daripada rumpun yang sama, iaitu bahasa Melayu. Perbezaan tersebut kecil, iaitu hanya dari segi dialek dan pengaruh tempatan sahaja. Tujuh peratus istilah Indonesia pula sama dengan bahasa Melayu berdasarkan kajian beliau ketika belajar di Universitas Indonesia dahulu.\nTambah beliau, masyarakat di rantau ASEAN perlu kembali kepada jati diri asal, iaitu mencintai akan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda, bahasa rasmi dan bahasa perpaduan.\nKetidaksefahaman wilayah sempadan juga perlu diketepikan oleh masyarakat Nusantara kerana pemecahan sempadan telah memberikan gambaran bahawa bahasa Melayu agak tidak bersatu padu pada pandangan mata dunia. Bahasa Melayu perlu diangkat sebagai bahasa antarabangsa. Sekiranya matlamat ini tercapai, maka bahasa Melayu akan menjadi bahasa yang ketujuh terbanyak dituturkan di dunia.\nSehubungan dengan itu, setiap warga Malaysia tidak kira apa-apa bangsa sekalipun perlu menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan sebagai bahasa perpaduan negara. Ada segelintir masyarakat yang menganggap bahawa bahasa Melayu hanya terhad penggunaannya dalam satu lingkungan sahaja dan bahasa Melayu bukan bahasa ilmu dan juga bukan bahasa ekonomi. Mereka sebenarnya lupa bahawa setiap bahasa ada perkembangannya. Pada masa akan datang, tidak mustahil sekiranya bahasa Melayu akan menjadi bahasa antarabangsa kerana bahasa Melayu berpotensi untuk menjadi bahasa yang gah di dunia." "Raja Muda Perlis Titah Pemerkasaan Rakyat Perlis Penting untuk Hidup Sejahtera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 \u201cPemerkasaan rakyat Perlis adalah penting kerana rakyat yang berpengetahuan dan cakna akan mahir dan berupaya membuat keputusan, mengambil tindakan terbaik dalam kawalan kesihatan kendiri merangkumi budaya hidup sihat, amalan kebiasaan baharu dan penilaian kesihatan kendiri. Hal ini akan dapat mencegah pelbagai jenis penyakit dan rakyat Perlis akan dapat hidup sihat sejahtera.\u201d\nDemikian titah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan Karnival Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Negeri Perlis anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Perlis di Dataran Dato\u2019 Sheikh Ahmad Kangar, pagi tadi.\nMenurut baginda, bagi memperkasa individu, keluarga dan komuniti dalam penjagaan kesihatan diri dan persekitaran untuk melahirkan rakyat yang sihat dan hidup sejahtera, rakyat Perlis hendaklah lebih peka dan mengambil tahu akan status kesihatan diri sendiri serta ahli keluarga tersayang masing-masing dan mengambil langkah kawalan perebakan penyakit.\nTambah baginda lagi, rakyat telah banyak belajar daripada kawalan kendiri dalam menghadapi COVID-19. Oleh itu, pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada perlu digunakan dengan sebaik-baiknya dalam menangani penyakit lain sama ada penyakit berjangkit ataupun tidak.\nKeberangkatan tiba baginda dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin dan Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Sirajuddin Hashim.\nBaginda menyokong penuh Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Baginda juga menyeru agar seluruh penduduk di negeri Perlis menyokong ANMS ini kerana bermatlamat untuk melahirkan rakyat Malaysia yang sihat sejahtera dengan membudayakan cara hidup sihat. Baginda juga menyatakan bahawa kita bukan hanya mahu sihat dari segi fizikal, malah sihat dan sejahtera dari segi mental dan hidup dalam persekitaran yang bersih.\nTerdahulu, baginda berdua berkenan menyaksikan YB Khairy Jamaluddin mencuba bermain sukan woodball buat pertama kalinya di padang bersebelahan diiringi oleh Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis, Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan setiausahanya, Tuan Haji Rusli Abdul Hamid.\nPada akhir program, Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis turut meluangkan masa melancarkan plak \u201cTrak Wellness on Wheel Peringkat Negeri Perlis\u201c." "Pupuk Budaya Menjaga Kebersihan Persekitaran\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menitahkan masyarakat agar memupuk budaya menjaga kebersihan persekitaran untuk kesejahteraan kesihatan rakyat Perlis.\nBaginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengadakan lawatan ke tapak pameran Karnival Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Negeri Perlis anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Perlis di Dataran Dato\u2019 Sheikh Ahmad, semalam.\nMelalui titahnya baginda menyatakan bahawa kebanyakan penyakit berjangkit dapat dicegah dengan mengamalkan kebersihan persekitaran. Sebagai contohnya, taska yang bersih dapat mencegah penyakit tangan, kaki dan mulut, manakala jika tiada tempat takungan air, tiadalah pembiakan aedes, maka tiada denggi. Menurutnya lagi,\nPersekitaran yang bersih dapat menceriakan emosi dan minda. Misalnya, bersenam di taman yang bersih seperti Denai Larian Pengkalan Asam akan membuatkan kita lebih bersemangat. Oleh itu, rakyat Perlis hendaklah sentiasa menjaga kebersihan persekitaran yang merupakan tanggungjawab kita bersama.\nDYTM Raja Puan Muda Perlis juga berkenan menyempurnakan pelepasan peserta dan meninjau Checkpoints Explore Health selepas mengambil bahagian dalam aerobik yang diadakan bersempena dengan program tersebut.\nSementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Sirajuddin Hashim pula memaklumkan bahawa keadaan pada masa ini yang membimbangkan ialah Beban Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) yang semakin meningkat di seluruh negara.\n\u201cKajian Tinjauan Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2019 mendapati negeri Perlis mempunyai prevalen faktor risiko NCD antara yang tertinggi di Malaysia, iaitu diabetes sebanyak 32.7 peratus, darah tinggi sekitar 29.9 peratus, hiperkolesterolemia sebanyak 47.2 peratus dan obesiti sebanyak 57.4 peratus.\nRaja Puan Muda kemudiannya mengiringi Raja Muda Perlis DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berangkat ke Laman Woodball MPK Dataran Dato Sheikh Ahmad untuk menyaksikan pertandingan woodball yang dipertandingkan sempena karnival tersebut bersama-sama Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin." "Enam Saintis Muda Wakil Malaysia dalam Mesyuarat Nobel Laureate\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Enam saintis muda negara diberikan pengiktirafan mewakili Malaysia dalam Mesyuarat Nobel Laureate Ke-71 di Lindau, Jerman yang bermula dari 26 Jun hingga 1 Julai 2022.\nMereka yang terpilih ialah Dr. Enis Nadia Md. Yusof dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Goh Choon Fu (USM), Dr. Nur Azzalia Kamaruzaman (USM), Dr. Oh Wen Da (USM), Dr. Sazlinda Kamaruzaman dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Dr. Low May Lee dari International Medical University (IMU).\n\u201cMesyuarat Nobel Laureate merupakan platform terbaik kepada saintis muda yang juga peneraju sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi membina jaringan bersama-sama saintis terbaik di peringkat antarabangsa,\u201d kata Presiden Akademi sains Malaysia (ASM), Prof Emerita Datuk Dr. Asma Ismail.\nTambahnya lagi, selain dapat bertemu dengan Pemenang Anugerah Nobel daripada pelbagai disiplin sains, mesyuarat yang akan disertai kira-kira 600 saintis muda lain dari seluruh dunia ini juga memberikan peluang kepada saintis muda negara untuk memperkenalkan penyelidikan mereka yang seterusnya mungkin membuka peluang kerjasama dengan saintis berkenaan di makmal bertaraf dunia.\n\u201cMalaysia menerusi ASM telah menghantar sebanyak 81 saintis muda untuk mengambil bahagian dalam mesyuarat ini sejak tahun 2004\u201d, ujarnya melalui kenyataan media semalam.\nMesyuarat Nobel ke-71 pada tahun ini didedikasikan untuk bidang kimia dan dianggarkan sejumlah 35 pemenang Anugerah Nobel akan menyertainya dengan membentangkan penyelidikan serta berkongsi pengalaman mereka bersama semua peserta.\nPencalonan wakil Malaysia bagi Mesyuarat Nobel ini dibuka kepada semua saintis muda institut pengajian tinggi awam dan institut pengajian tinggi swasta pada setiap tahun yang dikendalikan oleh ASM, agensi seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).\n\u00a0\n(Sumber: Facebook MOSTI)" "Menteri Kesihatan Gesa Lakukan Saringan Kesihatan Cegah NCD\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRembau \u2013 Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin menggesa golongan B40 untuk melakukan saringan kesihatan di bawah Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 (PeKa B40) untuk mencegah penyakit tidak berjangkit (NCD) yang menunjukkan trend peningkatan sejak akhir-akhir ini.\nDalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh ProtectHealth Corporation semalam, menurut YB Khairy Jamaluddin sejak wabak COVID-19 melanda, mereka yang menghidap NCD menghadapi kesan kemudaratan COVID-19 yang paling teruk.\nOleh sebab itu, orang ramai digalakkan membuat saringan kesihatan awal dan berkala untuk pengesanan awal sesuatu penyakit dan menjadi individu yang lebih celik kesihatan.\n\u201cSaya menyeru kepada mereka yang layak menerima manfaat daripada program B40 untuk ke klinik yang berdaftar dengan ProtectHealth bagi menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma. Klinik yang berdaftar dengan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) boleh dikenal pasti melalui pelekat B40 di pintu masuk klinik yang berkenaan,\u201d jelasnya lagi dalam sidang media yang diadakan selepas lawatan program jangkau luar PeKa B40 di sini.\nKetua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Dato\u2019 Dr. Anas Alam Faizli berkata, pada tahun ini, pihaknya menyasarkan sebanyak dua kali ganda jumlah keseluruhan saringan kesihatan yang telah dicapai pada tahun 2021, iaitu sebanyak 200 ribu saringan kesihatan.\nMenurutnya lagi, fokus utama ProtectHealth pada masa ini adalah untuk mendapatkan seberapa ramai orang untuk menjalani saringan pemeriksaan kesihatan di samping menyebarkan kesedaran tentang NCD yang boleh menjejaskan kehidupan manusia.\nPenghidap NCD berisiko menghadapi krisis kewangan disebabkan oleh kos bayaran perbelanjaan kesihatan yang tinggi. Hal ini mengakibatkan NCD boleh menjejaskan kestabilan kewangan individu dan perkembangan ekonomi negara. Oleh hal yang demikian, program PeKa B40 dilaksanakan untuk mengurangkan beban golongan B40 dari segi kos penjagaan kesihatan sekali gus membantu individu yang terjejas mendapatkan kualiti hidup yang lebih baik.\nProgram PeKa B40 adalah sebahagian daripada program Inisiatif Saringan Kesihatan Nasional (NHSI). Orang ramai boleh menyemak kelayakan mereka dengan memasukkan nombor kad pengenalan di laman sesawang www.pekab40.com.my atau kunjungi klinik terdekat yang berdaftar dengan ProtectHeatlh." "Menyebarluaskan Ilmu Sains dan Teknologi Penting Menggunakan Bahasa Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMelaka \u2013 \u201cPenyampaian dan menyebarluaskan ilmu sains dan teknologi yang tinggi dalam kalangan rakyat adalah dengan menggunakan bahasa bangsa itu sendiri,\u201d kata Ketua Pengarah Agensi Nuklear \u00a0Malaysia (Nuklear Malaysia), Dr. Abdul Rahim Harun dalam Majlis Perasmian Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2022 pada pagi ini di Hotel LaCrista, Melaka.\nDalam ucapan perasmiannya, Nuklear Malaysia menyambut baik hasrat kerajaan dalam memperkasakan bahasa Melayu sesuai dengan saranan Perdana Menteri Malaysia,\u00a0YAB\u00a0Dato\u2019 Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta nota percakapan dan dokumen rasmi kerajaan disediakan dalam bahasa Melayu apabila beliau mengadakan lawatan rasmi ke luar negara.\n\u201cNuklear Malaysia berazam menjadikan sains dan teknologi sebagai sumber untuk menjana ilmu, terutamanya dalam penerbitan bahan ilmiah menggunakan bahasa Melayu. Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana banyak menerbitkan buku dalam bahasa Melayu. Kerjasama antara Nuklear Malaysia dengan DBP dalam penerbitan buku adalah usaha yang harus menjadi kebanggaan bersama.\u201d\nSementara itu, beliau mengatakan penganjuran program Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2022 yang mengangkat tema Menyemarakkan Penulisan dalam bidang Sains dan Teknologi adalah sangat relevan kerana tanpa penulisan, ilmu pengetahuan tidak dapat disampaikan kepada masyarakat umum.\n\u201cSains menjadi teras kepada pembentukan tamadun manusia. Pembudayaan sains, teknologi dan inovasi untuk masyarakat memerlukan tindakan bersepadu daripada semua pihak dan penggunaan teknologi perlu dimanfaatkan sepenuhnya.\u201d\nJelasnya lagi, perihal membudayakan sains dalam masyarakat seiring dengan tema yang diangkat oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada tahun 2022, iaitu Merakyatkan Sains dan Menginsankan Teknologi untuk mendekatkan sains dan teknologi lebih dekat dengan Keluarga Malaysia.\nSementara itu, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran dalam ucap temanya dengan tajuk \u201cMenyemarakkan Penulisan dalam bidang Sains dan Teknologi\u201d, beliau menjelaskan bahawa dalam usaha untuk memasyarakatkan ilmu sains dan teknologi, terdapat keperluan untuk menentukan sasaran untuk membudayakan sains itu sendiri.\n\u201cPenyampaian ilmu melalui penulisan dalam pelbagai bidang, termasuklah dalam sains dan teknologi perlulah lebih meluas dan tidak terhad kepada golongan ilmuwan semata-mata. Masyarakat umum seharusnya boleh memanfaatkan kajian dan penemuan oleh penyelidik di samping dapat menggunakan ilmu tersebut dalam kehidupan seharian.\u201d\nTambah beliau, dalam membina khazanah ilmu dalam bidang sains dan teknologi, pihak DBP berusaha untuk menyediakan bahan bacaan yang bersifat lebih santai untuk golongan tertentu seperti kanak-kanak.\n\u201cMinat anak-anak untuk menguasai sains dan teknologi perlu dipupuk sejak dari awal usia. Golongan belia yang minat menulis juga boleh mula untuk menulis dengan penulisan cerpen dan novel, dan bentuk fiksyen\u201d.\nKetua Pengarah DBP juga menyatakan bahawa selain menerbitkan bahan ilmiah dalam bentuk bercetak, DBP juga sedang mengusahakan penerbit digital dan dalam bentuk multimedia yang lebih mudah diakses oleh penyelidik dan masyarakat umum sesuai dengan perkembangan teknologi pada masa ini.\nSeminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2022 diadakan secara hibrid bermula 28 Jun hingga 30 Jun 2022 di Hotel LaCrista, Melaka dan aplikasi Zoom merupakan anjuran Nuklear Malaysia dengan kerjasama DBP dan disokong oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka, Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) dan MajalahSains.com.\nSeminar ini membincangkan cabaran, hak cipta, keselamatan maklumat, pengurusan editorial, isu pemasaran serta masa depan penulisan dan penerbitan saintifik diikuti oleh\u00a0 bengkel penulisan bagi memberikan peluang kepada para peserta untuk menguasai teknik dan kaedah penulisan saintifik serta mendapat peluang penerbitan.\nProgram tahunan ini terbuka kepada karyawan dari sektor awam, badan berkanun dan swasta yang terlibat dalam bidang penulisan dan penerbitan karya, khususnya penyelidik, pensyarah, pegawai penerbitan, pustakawan, dan mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam bidang penulisan dan penerbitan serta orang awam. Sejumlah satu ucap tema, tiga ucap utama, dan 10 kertas kerja akan dibentangkan oleh penceramah undangan dalam program ini." "Tingkatkan Peranan Sains, Teknologi dan Inovasi dalam Penulisan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMelaka \u2013 Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2022 anjuran Nuklear Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka serta disokong oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka, Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), dan MajalahSains.com telah berlangsung di Hotel LaCrista, Melaka dan secara dalam talian, hari ini.\nDalam program ini, antara pengisian penting dalam ucaptama yang disampaikan oleh Pengarah IIUM Press Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr. Roosfa Hashim berkenaan dengan Strategi Wacana Penulisan Sains dan Teknologi di Malaysia membincangkan tentang isu yang terdapat pada penulisan sains dan teknologi.\nMenurut beliau, berdasarkan kajian dan pandangan yang dilontarkan daripada pihak pembaca, memang banyak isu yang berlaku dalam penulisan sains dan teknologi. Antaranya adalah seperti penulisan sains dan teknologi di negara ini tidak terkini dan tidak bersifat semasa, liputannya juga terlalu sedikit, terbatas, dan tidak meluas. Hal ini dikatakan demikian kerana penulisan yang banyak pada masa ini adalah lebih kepada isu hiburan semata-mata.\nTambah beliau lagi, bentuk penyampaian penulisan sains dan teknologi juga tidak pelbagai. Hal ini berikutan penulisan tentang sesuatu topik itu kadangkala terlalu panjang, tidak jelas dan sukar difahami. Terdapat juga istilah yang digunakan dalam penulisan saintifik tidak diketahui oleh para pembaca. Bahan bacaan sains yang sedia ada juga tidak dibantu dengan gambar atau grafik yang menarik. Timbul juga isu penulisan sains dan teknologi ini tidak begitu meyakinkan pembaca kerana penulisan tersebut bukan ditulis oleh pakar yang berkaitan dengan bidang ini.\nWalau bagaimanapun, penulisan dalam bidang sains dan teknologi ini sentiasa berkembang dengan pesat berikutan bidangnya yang begitu meluas. Oleh itu, beliau menyatakan bahawa strategi wacana penulisan sains dan teknologi perlu diambil perhatian dan tindakan segera supaya masyarakat dapat mengungkapkan ilmu sains itu dan menjadikan ilmu itu tersebar luas.\nMengulas dengan lebih lanjut tentang hal ini, beliau menyatakan beberapa strategi yang perlu dilakukan bagi meningkatkan mutu wacana penulisan sains dan teknologi di Malaysia, misalnya media massa di negara ini perlu berusaha meningkatkan jumlah terbitan bahan yang berasaskan sains dan teknologi dalam akhbar dan majalah sama ada dalam bentuk bercetak, elektronik ataupun penyiaran.\nSelain itu, beliau juga menyatakan bahawa majalah sains dan teknologi yang sedia ada di Malaysia perlu memperbaik persembahan dengan mempelbagaikan bentuk dan format wacana seperti ruangan berita, rencana, ulasan buku, surat pembaca, dan sebagainya. Kandungan majalah juga perlu memberikan tumpuan kepada ilmu sains yang bersifat Malaysiana. Kerjasama daripada pihak swasta dan syarikat perniagaan barangan dan perkhidmatan juga penting dalam membantu penerbitan majalah sains dan teknologi dengan membeli ruangan iklan, menaja rencana saintifik atau sebarang bentuk kerjasama, kolaborasi dan perkongsian pintar.\nPasukan editorial majalah sains dan teknologi sedia ada perlu mendapat latihan dan pendedahan kepada penulisan sains dan teknologi yang lebih baik dan berkesan. Pelbagai bentuk latihan dan bengkel tentang penulisan dan reka bentuk majalah perlu diadakan secara kerap, berkala dan berterusan kepada penulis, editor dan pereka bentuk majalah sains dan teknologi bagi menghasilkan sebuah penulisan yang berkualiti dan bermutu tinggi.\nPada masa yang sama, beliau turut mengharapkan pelbagai institusi yang berkaitan dengan kegiatan penyelidikan sains dan teknologi di Malaysia terlibat sama dalam usaha menerbitkan lebih banyak majalah dalam pelbagai cabang, terutamanya sains dan teknologi termasuklah melatih kakitangan mereka untuk menjadi penulis penulisan sains dan teknologi.\nSeterusnya, pembentangan kertas kerja Penerbitan Berimpak Tinggi yang dibentangkan oleh Pengasas dan Ketua Editor Proofreading by A UK PhD, Dr. Thavamaran Kanesan pula menekankan cara untuk menghasilkan sesuatu penerbitan yang berimpak tinggi.\nMenurut beliau, sesuatu kajian itu perlu dikaji dengan baik, merangka satu persoalan kajian dan objektif kajian yang penting, tidak melakukan kajian secara bersendirian, menggunakan metodologi penyelidikan yang kukuh, menghasilkan sesuatu yang menakjubkan, membuat penulisan yang baik, dan memastikan tiada kesalahan selepas selesai menghasilkan sesuatu kajian.\nDalam sesi pembentangan kertas kerja ini juga, beliau banyak berkongsi tentang cara untuk mencari sesuatu kajian atau penerbitan yang berimpak tinggi, iaitu sama ada melalui carian di laman sesawang dengan memasukkan kata kunci sesuatu kajian yang ingin dicari atau dengan menggunakan cara membandingkan sesuatu kajian yang dihasilkan dengan penerbitan orang lain.\nSelain itu, beliau turut menjelaskan beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian dalam struktur kertas semakan. Antaranya ialah seseorang penyelidik atau penulis itu perlu menyelesaikan sesuatu kesamaran, memberikan gambaran menyeluruh tentang keadaan pengetahuan semasa, mengenal pasti keputusan sebelumnya yang tidak konsisten, menilai metodologi, membangunkan rangka kerja konsep sebagai penyelesaian (kertas konsep), dan menyelesaikan segala masalah yang terdapat pada sesuatu kajian atau penerbitan.\nSementara itu, pembentangan kertas kerja yang seterusnya adalah berkaitan dengan Teknologi Terkini dalam Teknik Pengambilan, Pengumpulan dan Analisis Data Kajian yang dibentangkan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik, Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka (UiTM), Ts. Dr. Fazleen Abdul Fatah.\nBeliau menyatakan bahawa dalam sesuatu pangkalan data, pencarian semula data merupakan proses mengenal pasti dan mengekstrak data daripada pangkalan data. Hal ini membolehkan pengambilan data daripada pangkalan data untuk dipaparkan pada monitor dan/atau digunakan dalam aplikasi.\nSelain itu, bagi pengumpulan data pula, analisis pemboleh ubah data dan klasifikasi data adalah penting untuk memastikan keputusan sampel memenuhi tujuan yang dimaksudkan dan boleh digunakan untuk mendapatkan kesimpulan yang relevan, manakala analisis data merujuk proses mengumpul, memodelkan dan menganalisis data untuk mengekstrak pandangan yang menyokong pembuatan keputusan sesuatu sampel. Kaedah dan teknik untuk melakukan analisis ini bergantung pada industri dan tujuan penyiasatan.\nDalam pembentangan kertas kerja ini juga, beliau turut menerangkan tentang jenis data yang terbahagi kepada dua, iaitu data primer dan data sekunder. Data primer merupakan suatu data yang pertama kali dikumpul oleh penyelidik. Sumber data primer ini adalah daripada tinjauan, pemerhatian, eksperimen, soal selidik, dan temu bual peribadi. Proses pengumpulan datanya juga mengambil masa yang agak lama.\nData sekunder pula merujuk maklumat yang dikumpul atau dijana oleh pihak ketiga pada masa lalu. Antara sumber data sekunder adalah seperti dokumen kerajaan, laman sesawang, buku, artikel jurnal, rekod di Internet, dan sebagainya. Walau bagaimanapun, pengumpulan data sekunder ini lebih pantas dan mudah berbanding dengan pengumpulan data primer.\nBeliau turut mengulas sedikit tentang jenis penyelidikan yang dilakukan dalam pengumpulan dan analisis data. Jenis penyelidikan yang dibuat melibatkan penyelidikan berbentuk kuantitatif dan kualitatif. Penyelidikan kuantitatif membolehkan data yang diperoleh dianalisis secara numerik. Kaedah pengumpulan datanya adalah melalui dalam talian, temu bual secara peribadi atau melalui telefon, melakukan tinjauan, eksperimen terkawal, data sekunder, dan sebagainya untuk menguji hipotesis dan data berangka. Dari segi analisis yang dilakukan pula melibatkan analisis statistik, laporan statistik dengan penemuan dan hubungannya yang signifikan. Pendekatan penyelidikan ini berbentuk deduktif dan pensampelan datanya adalah secara rawak (kebarangkalian). Antara perisian penyelidikan berbentuk kuantitatif adalah seperti SPSS, MATLABB, SAS, Eviews, Stata, JMuLTi, dan Excel.\nSelain itu, penyelidikan berbentuk kualitatif melibatkan data bukan berangka yang menggambarkan kualiti, pendapat atau perasaan. Kaedah pengumpulan data yang digunakan dalam penyelidikan jenis ini merumuskan hipotesis dan mengumpul maklumat terperinci daripada kumpulan yang lebih kecil atau kumpulan fokus, data teks, audio dan visual serta soalan terbuka. Dari segi analisis datanya pula melibatkan analisis manual melalui pengelompokan tema, corak dan laporan naratif dengan penerangan kontekstual. Pendekatan yang digunakan ketika membuat penyelidikan ini adalah berbentuk induktif dan pensampelan datanya adalah secara bertujuan dan menilai (bukan kebarangkalian). Antara perisian yang digunakan dalam penyelidikan jenis kualitatif adalah seperti NVivo, ATLAS.ti, MAXQDA, dan Microsoft Word.\nSesi ini dipengerusikan oleh Pengarah Kanan, Program Pengurusan Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin dan disertai oleh karyawan dari sektor awam dan swasta." "Tingkatkan Kemahiran dalam Membangunkan Penulisan Saintifik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMelaka \u2013 Menerusi tema Menyemarakkan Penulisan dalam bidang Sains dan Teknologi yang diangkat dalam Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2022, program ini dirancakkan lagi dengan sesi kedua pembentangan ucaptama dan empat kertas kerja yang membincangkan isu penyediaan bahan, gaya dan teknik penulisan saintifik.\nPembentangan ucaptama dalam sesi kedua ini dimulakan oleh Pengarah Kanan Program Pengurusan Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Muhamad Rawi Mohamed Zin dengan tajuk \u201cKemahiran Menganalisis Data dan Teknik Penulisan\u201d. Dalam pembentangannya, beliau mengatakan bahawa data seperti diagram, graf, jadual, imej, corak serta lukisan adalah fakta yang membawa maklumat yang direkodkan untuk tujuan analisis dalam penulisan akademik. Menurutnya,\nPenyelidik harus mempunyai kemahiran untuk mengenal pasti, mengumpul, membersihkan, menganalisis dan menafsir data. Data juga perlu diolah sebaik mungkin dan perlu dipersembahkan dalam bentuk menarik yang boleh memukau pembaca untuk terus membaca teks.\nPerkara penting dalam penulisan akademik yang melibatkan data mestilah mempunyai struktur tersendiri dan tidak bersandarkan teks semata-mata. Rajah yang mempunyai keterangan atau kapsyen yang baik membolehkan pembaca memahami kandungan teks melalui data tanpa merujuk teks.\nBeliau menjelaskan antara sebab kebanyakan penulisan akademik ditolak untuk penerbitan termasuklah data yang diberikan tidak mencukupi, data terlalu banyak yang menyebabkan susah untuk ditentukan corak dan sukar dianalisis serta data yang dibentangkan dalam penulisan terlalu lemah.\nSesi pembentangan kertas kerja diteruskan oleh Pensyarah Kanan, Bahagian Bahasa Inggeris, Pusat Bahasa Moden, Universiti Malaysia Pahang, Dr. Wan Jumani Paizi @ Fauzi yang membincangkan tajuk \u201cProofreading dan editing \u2013 Satu Kekeliruan atau Kesamaan\u201d.\nBeliau menerangkan proses membaca pruf dan penyuntingan adalah penting untuk menilai penulisan yang dihasilkan. Membaca pruf adalah proses membaca, menyemak dan membetulkan tatabahasa, tanda baca dan ejaan. Proses suntingan pula adalah lebih terperinci yang meliputi semakan koherensi, struktur ayat, penggunaan bahasa yang ringkas dan jelas di samping ketiga-tiga aspek dalam membaca pruf.\nPembaca pruf atau editor yang baik mestilah mempunyai beberapa ciri penting untuk menjalankan tugasnya dengan sempurna. Mereka mestilah mempunyai sifat yang teliti terhadap sebarang perincian dalam sesuatu teks atau penulisan. Selain itu, mereka mestilah mempunyai kemahiran untuk mengenal pasti sebarang kesalahan dalam teks.\nDi samping itu, pembaca pruf atau editor mestilah peka dan mengetahui objektif yang penulis ingin sampaikan dalam penulisan mereka. Pembaca pruf atau editor juga seharusnya mempunyai sifat ingin tahu dan melakukan kajian serta menyemak fakta yang disediakan oleh penulis, mempunyai sifat berani dan tidak takut untuk memberikan pandangan tentang kandungan sesuatu penulisan.\nSeterusnya, kertas kerja \u201cPenulisan Laporan Teknikal Berasaskan Sains dan Teknologi\u201d yang dibentangkan oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Mohd Helmy Abd Wahab pula mengupas struktur penulisan laporan teknikal yang merangkumi lapan perkara utama, iaitu tajuk, abstrak, pengenalan, sorotan kajian, kaedah, keputusan, perbincangan, kesimpulan, penghargaan dan rujukan.\nTerangnya, kelapan-lapan perkara utama tersebut mempunyai kepentingan yang tersendiri dan perlu ditulis serta dipersembahkan dengan terbaik. Hal ini adalah penting bagi membolehkan penulisan akademik tersebut berpotensi tinggi untuk diterima dalam penerbitan jurnal berimpak tinggi.\nBeliau juga berkongsikan faktor laporan teknikal yang ditolak adalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti kandungan kajian tidak sesuai dengan penerbitan, kajian bersifat tidak selesai atau plagiat, ditulis dengan banyak masalah tatabahasa dan ejaan, kertas yang telah diterbitkan dan penilai salah faham akan kandungan artikel.\nSementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Ts. Dr. Saifudin Hafiz Yahaya membentangkan kertas kerja dengan tajuk \u201cFormat Penulisan Rujukan bagi Jurnal\u201d yang menghuraikan isu penulisan rujukan dalam penulisan akademik.\nBeliau yang juga merupakan Ketua Editor Journal of Advanced Manufacturing Technology mengatakan tujuan utama rujukan dinyatakan dalam jurnal adalah untuk memberitahu sumber yang digunakan. Rujukan juga digunakan untuk menyatakan sumber ilmu yang diguna pakai, untuk memberikan kredit kepada penulis asal dan mengelakkan daripada berlakunya plagiarisme.\nPenulisan akademik terbahagi kepada dua jenis, iaitu artikel penyelidikan dan artikel penialaian. Artikel penyelidikan adalah penulisan dengan lapan hingga 15 halaman, mempunyai sebanyak 7500 hingga 9000 patah perkataan dan sejumlah 25 rujukan. Artikel penilaian pula mempunyai lebih kurang 15 halaman dan ke atas, disertakan dengan jadual ringkasan serta mempunyai sebanyak 70 hingga 200 rujukan.\nSesi ini diakhiri dengan pembentangan oleh Pensyarah Kanan, Program Sains Forensik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr. Geshina Ayu Mat Saat dengan kertas kerja \u201cPemilihan Struktur dan Tema dalam Teks Saintifik\u201d.\nBeliau menerangkan bahawa penulisan saintifik perlu mengekalkan perhatian pembaca. Menurutnya lagi,\nUntuk berbuat demikian, penulis perlu memulakan setiap perenggan dengan ayat topik yang jelas, ringkas dan menarik. Elakkan guna topik yang terlalu panjang dan mengelirukan. Ayat yang digunakan juga tidak boleh terlalu panjang, terputus dan tidak logik.\nSelain itu, tema dalam penulisan saintifik haruslah disusun secara logikal dan berpatutan kerana tujuannya adalah untuk menunjukkan secara keseluruhan makna yang telah ditunjukkan oleh literatur. Dalam penulisan saintifik, pembaca ingin mendapatkan jawapan tentang tema yang dibawakan dan sumber utama dalam penulisan tersebut.\nBeliau juga menyarankan penulis untuk membuat perancangan. Tanpa perancangan yang betul adalah sukar untuk menentukan tema utama yang timbul dan proses semakan mungkin menjadi tidak teratur.\nSesi ini dipengerusikan oleh Encik Abdul Ghani Abu, Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah, Dewan Bahasa dan Pustaka." "MOSTI Tawar 27 Penyelesaian Teknologi Tangani Isu Sekuriti Makanan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya\u00a0\u2013 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menawarkan sebanyak 27 penyelesaian teknologi yang sedia diguna pakai secara meluas bagi membantu negara menangani isu sekuriti makanan untuk jangka masa pendek.\nDalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh MOSTI semalam, penyelesaian teknologi yang dikenal pasti terbahagi kepada beberapa klusler, iaitu biji benih, biobaja dan baja penggalak, penggunaan dron dan robotik, perkhidmatan ujian dan aplikasi Internet Benda (loT), akuakultur serta makanan ternakan.\nAntara penyelesaian teknologi yang ditawarkan ialah penggunaan automasi sistem fertigasi, pertanian menegak, akuaponik yang digandingkan bersama-sama aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang mampu beroperasi di kawasan terpencil dan mengurangkan kos operasi melalui penggunaan Panel Tenaga Suria Nano (NLEP) tenaga solar sebagai sumber tenaga utama, Penggunaan teknologi ini boleh diguna pakai bagi pelbagai jenis tanaman hijau berdasarkan kesesuaian kawasan dan keperluan pasaran.\nDi samping itu, teknologi loT dan blok rantai akan turut digembleng bersama-sama penyelesaian teknologi lain bagi merancakkan industri agro. Penggunaan biobaja pintar, teknologi penjerap nutrien dan teknologi pemuliharaan tanah juga boleh meningkatkan produktiviti tanaman. Teknologi ini berupaya mengatasi isu kenaikan harga baja disebabkan oleh bekalan bahan yang terhad berikutan krisis dunia. Produk ini amat sesuai digunakan dalam skala besar bagi mempertingkat kawasan penanaman yang subur dalam tempoh yang singkat.\nMenerusi Agensi Nuklear Malaysia, kajian dan data di lapangan juga telah memperlihat keupayaan biobaja yang berpotensi menjimatkan kos baja hingga 50 peratus dan meningkatkan hasil pertanian hingga lapan peratus. Hal ini mampu mengurangkan kebergantungan kepada baja di samping subsidi baja juga dapat dikurangkan secara berperingkat\nSelain itu, beberapa model pelaksanaan juga telah dikenal pasti MOSTI termasuklah perubahan besar ke atas penambahbaikan mekanisme sistem penyampaian sekiranya perlu dilaksanakan bagi memperkukuh polisi negara dalam mengalakkan penggunaan teknologi dalam industri agro\nMOSTI yakin bahawa teknologi yang diketengahkan mampu memberikan impak yang berkesan dalam memastikan sekuriti bekalan makanan terjamin dengan kos yang berpatutan serta pengurangan kepada kebergantungan penuh kepada buruh asing\nKesemua penyelesaian teknologi ini merupakan hasil penyelidikan dan pembangunan tempatan yang dibiayai oleh kerajaan. Hal ini membuktikan bahawa negara mempunyai kepakaran dan kemampuan yang tinggi dalam sains, teknologi, inovasi dan ekonami dan peluang ini perlu digunakan sebaik-baiknya dalam menangani isu bekalan makanan.\nPenyelesaian berlandaskan teknologi ini merupakan sokongan MOSTI kepada kesinambungan usaha yang sedang dilakukan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. MOSTI juga menyarankan usaha sama dengan semua pihak berkepentingan baik di peringkat persekutuan mahupun negeri akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kesinambungan dan kemampanan industri agromakanan." "Membina Penulisan Alaf Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMelaka \u2013 \u201cKemahiran menulis makalah untuk jurnal berwasit adalah melalui pengalaman penulisan yang berterusan. Kebolehan untuk menulis datangnya bukan sahaja daripada bakat semula jadi tetapi juga daripada pengalaman menulis yang dilakukan sepanjang masa,\u201d kata Profesor, Jabatan Fizik Gunaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dato\u2019 Dr. Roslan Abd Shukor dalam ucaptama ketiga dengan tajuk \u201cTeknik Pengembangan Idea Penulisan Saintifik\u201d dalam Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2022 pada pagi ini.\nMenurutnya, keupayaan untuk menerbitkan artikel saintifik merupakan satu daripada kayu pengukur kejayaan seseorang penyelidik. Menulis manuskrip boleh menjadi mudah dan menyeronokkan jika dilakukan dengan cara yang betul dan formula yang teruji.\nMenulis manuskrip adalah seperti menulis cerita. Untuk menjadikan cerita itu menarik, bahan yang diceritakan itu juga mestilah diolah dengan baik dan mudah difahami. Hanya dengan jalan cerita yang baik sesuatu manuskrip itu dapat menarik pembaca.\nHasil penyelidikan mestilah diterbitkan untuk dimanfaatkan oleh para ilmuan dan masyarakat. Penyelidik yang pintar jika tidak menerbitkan hasil penyelidikan, mungkin tidak diakui kesarjanaannya. Satu daripada falsafah kesarjanaan ialah hasil kajian mesti ditulis, diwasit dan akhirnya diterbitkan. Hanya dengan kaedah ini sahaja ilmu yang baharu boleh disahkan dan dapat memperkaya khazanah ilmu.\nBeliau turut berkongsikan beberapa persediaan yang boleh dilakukan oleh penulis sebelum mula menulis. Antaranya termasuklah banyakkan membaca, membaca dengan kritis, memilih tempat yang sesuai untuk menulis, mengenal pasti sasaran yang hendak dicapai apabila menulis dan menulis dengan konsisten.\nPada akhir pembentangan, beliau merumuskan ucaptamanya dengan menjelaskan pengembangan idea untuk penulisan saintifik adalah melalui kolaborasi, pembacaan yang meluas, mengikuti perkembangan terkini dalam bidang dan berdisiplin dalam aktiviti penulisan. Dalam pengembangan idea penulisan saintifik, seseorang penyelidik juga perlu mengoptimumkan kekuatan cara berfikir masing-masing, sentiasa berada di hadapan dalam bidang melalui pembacaan dan sentiasa berinteraksi dengan penyelidik terkemuka yang lain.\nSeterusnya, Pengarah Penerbit UPM, Universiti Putra Malaysia, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Haji Hameed Sultan membentangkan kertas kerja dengan tajuk \u201cPenulisan Jurnal Saintifik dari Peringkat Idea hingga ke Penerbitan\u201d. Beliau menyatakan sebelum seseorang penulis menulis sesebuah manuskrip, mereka perlu mengenal pasti enam perkara.\nFikirkan mengapakah anda ingin menerbitkan karya dan adakah boleh diterbitkan? Penulis juga hendaklah menentukan jenis manuskrip yang hendak disediakan, sama ada artikel penyelidikan, artikel ringkas ataupun ulasan artikel. Di samping itu, penulis hendaklah mengenal pasti jurnal sasaran untuk penerbitan di samping memahami etika penerbitan sesuatu karya itu.\nBeliau juga berkongsikan bahawa editor jurnal biasanyan akan menyemak empat elemen utama apabila mereka menerima manuskrip daripada penulis. Elemen tersebut termasuklah kesesuaian isi kandungan mansukrip, pematuhan arahan manuskrip terhadap penerbitan dalam jurnal, kualiti keseluruhan artikel serta penggunaan bahasa yang baik.\nSementara itu, dalam kerta kerja \u201cAplikasi di E-Platform Digital bagi Bahan Penulisan dan Penerbitan Saintifik\u201d yang dibentangkan oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Farmasi, Universiti Teknologi Mara, Dr. Normala Abd Latip, beliau mengatakan media sosial memberikan ketampakan kepada individu yang tak terlihat di samping memberikan \u201csuara\u201d kepada pandangan yang tidak didengari.\nPengasas laman media sosial Ini Sains Beb! menerangkan media sosial memberikan jaringan yang lebih meluas dan mampu menangani jurang antara saintis dan masyarkat dalam menyebarkan hasil kajian. Rakyat Malaysia sendiri merupakan pengguna media sosial yang tertinggi di dunia. Kebanyakan rakyat Malaysia menggunakan Youtube, Whatsapp, Facebook dan Instagram.\nLangkah pertama untuk berkongsikan hasil kajian menerusi media sosial adalah dengan menterjemah hasil kajian mengikut jenis media sosial, sama ada dengan penghasilan teks mudah atau melalui penghasilan video, bergantung pada medium media sosial yang digunakan.\nSeterusnya, penulis dan aktivis hak cipta, Puan Nisah Haron membentangkan kertas kerja dengan tajuk \u201cPlagiat ke Penulisan Saya?\u201d yang mengupas isu harta intelektual dalam penulisan.\nBeliau menerangkan hak cipta ialah hak kekuasaaan yang dilindungi atas sebahagian daripada hasil ciptaan seseorang pengarang. Syarat untuk mendapat hak cipta termasuklah karya asli, bahan atau rekod, jenis karya dilindungi dan pengkarya yang dikenal pasti.\nHak cipta di Malaysia melindungi karya sastera, muzik, seni, filem, rakaman bunyi dan siaran. Kesemua karya ini dilindungi dengan hak cipta tanpa mengira kualiti dan tujuan sesuatu karya itu dihasilkan.\nBeliau juga mengatakan bagi mengelakkan plagiarisme dalam penulisan, penulis hendaklah menyatakan sumber penulisan tersebut. Hal ini sebenarnya menunjukkan kemampuan seseorang penulis itu untuk memproses idea luar selain menguatkan tulisan sendiri dengan sandaran kepada idea terdahulu.\nKertas kerja terakhir bagi sesi ini dibentangkan oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA, Dr. Fatimah Salim dengan tajuk \u201cPenulisan Saintifik di Media Sosial\u201d. Menurutnya,\n\u201cKaedah penyampaian konsep saintifik yang kompleks kepada istilah harian adalah bertujuan membantu saintis untuk berkongsi dapatan hasil penyelidikan kepada pelbagai pihak berkepentingan seperti orang awam dan akhbar. Selain itu, kaedah penyampaian saintifik yang ringkas boleh menjadikan sains boleh diakses oleh semua orang\u201d\nBeliau memaklumkan sekiranya seseorang itu hendak berkongsikan maklumat saintifik di media sosial, mereka perlulah menjadi diri sendiri walaupun menggunakan nama pena atau kekal sebagai tanpa nama. Di samping itu, adalah penting untuk seseorang penulis membentuk karisma diri berdasarkan ilmu dan kepakaran yang dimiliki selain menyemaikan sifat keikhlasan dan imej diri.\nSesi ketiga Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2022 ini melibatkan pembentangan satu ucaptama dan empat kertas kerja. Sesi ini dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Ir. Dr. Anas Abdul Latiff." "Garnier Malaysia Lancar Program Pendidikan Sekolah di Seluruh Negara Hari Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u00a0Majlis pelancaran program pendidikan sekolah di seluruh negara oleh Garnier Malaysia sebagai sebahagian daripada inisiatif hijaunya di bawah kempen \u201cGreen Beauty\u201d telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Darul Ehsan, Selayang Baru, hari ini. Inisiatif ini merupakan antara komitmen Garnier Malaysia bagi memupuk generasi Hero Hijau melalui pendidikan.\nKempen \u201cGreen Beauty\u201d adalah satu daripada inisiatif global Garnier Malaysia yang melibatkan pendekatan menyeluruh ke arah kelestarian. Sasaran komitmen ini menjelang tahun 2025 adalah untuk mengurangkan impak keseluruhan Garnier Malaysia terhadap alam sekitar secara menyeluruh. Inisiatif ini bagi mencapai matlamat untuk memastikan produk tidak dihasilkan daripada plastik baharu dan menukar bungkusan bagi membolehkan semua bahan boleh diguna semula, dikitar semula dan dikompos.\nGarnier Malaysia juga komited dalam memastikan tapak industrinya bersifat neutral karbon menjelang tahun 2025. Garnier Malaysia juga berhasrat untuk memperkasakan 1000 komuniti melalui program Penyumberan Perpaduan.\nSelain itu, bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif ini pada peringkat tempatan, Garnier Malaysia bekerjasama dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) untuk menjalankan program pendidikan sekolah yang bermatlamat mendidik 1000 orang guru dan beribu-ribu lagi pelajar tentang kitar semula, guna semula dan cara untuk menangani pencemaran plastik. Para pelajar turut digalakkan untuk mengamalkan pengetahuan kitar semula yang dipelajari melalui tong sampah kitar semula yang disediakan oleh Garnier Malaysia.\nInisiatif ini dimulakan dengan pameran bergerak jelajah yang bersifat interaktif, dipenuhi dengan pelbagai aktiviti dan bengkel pendidikan yang menyeronokkan di Sekolah Kebangsaan Subang Bestari 2 dan SMK Seksyen 4, Bandar Kinrara. Usaha ini telah menerima banyak respons yang positif daripada pelajar dan guru.\nMenurut pengasas Garnier Malaysia, Chris Chan, pencemaran plastik terus menjadi isu di Malaysia. Melalui inisiatif ini, pihak Garnier Malaysia ingin memainkan peranan sebagai sebuah jenama kecantikan yang lestari dalam mewujudkan impak ke arah kesejahteraan alam sekitar dalam jangka masa panjang. Beliau percaya terhadap kuasa pendidikan dan program pendidikan di sekolah akan dapat memupuk pencinta alam sekitar yang akan menjadi generasi Hero Hijau dan seterusnya menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih bersih.\nGarnier Malaysia sangat berbesar hati dapat berganding bahu dengan MNS untuk melaksanakan inisiatif ini memandangkan mereka mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas bagi mengukuhkan lagi pelaksanaan dan impak inisiatif ini sekali gus membolehkan kami bersama-sama mencapai matlamat yang ditetapkan.\nSMK Darul Ehsan yang dikenali dengan pelaksanaan inisiatif hijau yang pelbagai dalam kalangan pelajar dan komuniti menjadi faktor utama pemilihannya sebagai tempat untuk diadakan majlis pelancaran inisiatif ini. Antara inisiatif hijau yang telah dilaksanakan di sekolah ini termasuklah membina rumah hijau, sistem tadahan air hujan, menyediakan kelas agrikultur dan hortikultur, dan hab pengumpulan untuk minyak masak serta fabrik terpakai. Sekolah ini juga dikenali dengan pelaksanaan \u201cEco-Brick\u201d, yakni botol plastik diisi padat dengan sisa buangan plastik untuk digunakan sebagai bahan binaan bagi menghasilkan dinding penebat atau perabot luar.\nSementara itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Pencinta Alam Malaysia, I.S. Shanmugaraj Subramaniam menyatakan bahawa program pendidikan sekolah di seluruh negara ini bertepatan dengan matlamat ke arah mendidik pelajar bagi mewujudkan minat mereka terhadap kitar semula dan pengurusan sisa buangan plastik. Bengkel interaktif dan menyeronokkan ini adalah satu daripada cara untuk memperkenalkan topik sebegini kepada pelajar sekolah dan MNS berasa sangat gembira dapat bekerjasama dengan Garnier Malaysia untuk merealisasikan masa hadapan yang lestari dan alam sekitar yang lebih hijau.\nGarnier Malaysia dan MNS juga dalam perancangan untuk melaksanakan aktiviti pembersihan di lima buah pantai terpilih di negara ini. Aktiviti pembersihan pantai yang pertama telah diadakan pada 25 Mei 2022 yang lalu di Pantai Remis, Kuala Selangor dengan penyertaan sebanyak 80 orang peserta.\nTurut hadir dalam majlis pelancaran ini ialah Timbalan Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Puan Hajah Marpuaton Sastero dan Pengurus Besar Bahagian Produk Pengguna, L\u2019Or\u00e9al Malaysia, Puan Hanane Saidi.\nBagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan kempen \u201cGreen Beauty\u201d ini, sila layari www.garnier.com.my/green-beauty atau ikuti Facebook atau Instagram rasmi Garnier Malaysia." "Perihal Penanda Wacana\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata peralihan (transition words) meliputi penanda wacana (discourse marker), kata hubung (conjunction) dan kata sendi nama (preposition).\u00a0 Penanda wacana digunakan untuk menghubungkan ayat dengan ayat, perenggan dengan perenggan, petikan dengan petikan, dan sebagainya.\u00a0 Sebaliknya, kata hubung digunakan untuk menghubungkan klausa dengan klausa, dan kata sendi nama digunakan untuk menghubungkan klausa dengan frasa.\u00a0 Sila lihat contoh berikut:\n1a.\u00a0 Dia masuk ke bilik.\u00a0 Kemudiannya dia tidur.\n1b.\u00a0 Dia masuk ke bilik, lalu tidur.\n1c.\u00a0 Dia masuk ke bilik dengan badan yang letih lesu.\nDalam ayat 1a, kata penanda wacana \u201ckemudiannya\u201d menghubungkan ayat \u201cdia masuk ke bilik\u201d dengan ayat \u201cdia tidur\u201d.\u00a0 Dalam ayat 2, kata hubung setara \u201clalu\u201d menghubungkan klausa \u201cdia masuk ke bilik\u201d dengan klausa \u201c(dia) tidur\u201c.\u00a0 Dalam ayat 1c, kata sendi nama \u201cdengan\u201d menghubungkan klausa \u201cdia masuk ke bilik\u201d dengan frasa \u201cbadan yang letih lesu\u201d.\nPenanda wacana (discourse marker) dapat dibahagikan kepada beberapa jenis, bergantung pada maklumat dalam ayat yang dihubungkannya.\u00a0 Jika penanda wacana menghubungkan ayat yang memberikan maklumat tambahan kepada ayat yang mendahuluinya, penanda wacana itu dinamakan sebagai penanda wacana tokok tambah (additive marker).\u00a0\u00a0 Sila lihat contoh berikut:\n2a. Kita harus mengambil makanan yang seimbang.\u00a0 Tambahan pula,\u00a0 kita harus juga bersenam.\n2b. Kita harus mengambil makanan yang seimbang.\u00a0 Selain itu,\u00a0 kita harus juga bersenam.\n2c.Kita harus mengambil makanan yang seimbang.\u00a0 Di samping itu,\u00a0 kita harus juga bersenam.\nDalam kelompok ayat 2 di atas, penanda wacana \u201ctambahan pula\u201d, \u201cselain itu\u201d dan \u201cdi samping itu\u201d merupakan penanda wacana tokok tambah.\nAda juga penanda wacana yang menghubungkan dua ayat dengan maklumat yang bertentangan, iaitu ayat yang kedua mendukung maklumat yang bertentangan atau bercanggah dengan ayat yang mendahuluinya.\u00a0 Penanda wacana seperti ini dinamakan penanda wacana pertentangan (adversative marker).\u00a0 Sila lihat contoh berikut:\n3a.\u00a0 Dia bersifat kedekut.\u00a0 Sebaliknya, adiknya bersifat pemurah.\n3b.\u00a0 Dia bersifat kedekut.\u00a0 Namun demikian, adiknya bersifat pemurah.\n3c.\u00a0 Dia bersifat kedekut.\u00a0 Namun begitu, adiknya bersifat pemurah.\n3d.\u00a0 Dia bersifat kedekut.\u00a0 Walau bagaimanapun, adiknya bersifat pemurah.\n3e.\u00a0 Dia bersifat kedekut.\u00a0 Kendatipun begitu, adiknya bersifat pemurah.\n3f.\u00a0 \u00a0Dia bersifat kedekut.\u00a0 Walaupun begitu, adiknya bersifat pemurah.\n3g.\u00a0 Dia bersifat kedekut.\u00a0 Sekalipun begitu, adiknya bersifat pemurah.\nDalam kelompok ayat 3 di atas, penanda wacana \u201csebaliknya\u201d, \u201cnamun demikian\u201d, \u201cnamun begitu\u201d, \u201cwalau bagaimanapun\u201d, \u201ckendatipun begitu\u201d, \u201cwalaupun begitu\u201d dan \u201c sekalipun begitu\u201d merupakan penanda wacana pertentangan.\nPenanda wacana sebab \u2013 akibat (cause \u2013 effect marker) menghubungkan dua ayat berdasarkan hubungan sebab \u2013 akibat, iaitu ayat yang merupakan sebab sesuatu perkara disusuli oleh ayat yang merupakan akibatnya.\u00a0 Sila lihat contoh berikut:\n4a.\u00a0 Dia pemarah.\u00a0 Oleh itu, kawannya tidak ramai.\n4b.\u00a0 Dia pemarah.\u00a0 Kerana itu, kawannya tidak ramai.\n4c.\u00a0 Dia pemarah.\u00a0 Oleh sebab itu, kawannya tidak ramai.\n4d.\u00a0 Dia pemarah.\u00a0 Sebagai akibatnya, kawannya tidak ramai.\n4e.\u00a0 Dia pemarah.\u00a0 Natijahnya, kawannya tidak ramai.\n4f.\u00a0\u00a0 Dia pemarah.\u00a0 Dengan itu, kawannya tidak ramai.\n4g.\u00a0 Dia pemarah.\u00a0 Maka itu, kawannya tidak ramai.\n4h.\u00a0 Dia pemarah.\u00a0 Oleh hal demikian, kawannya tidak ramai.\n4i.\u00a0 \u00a0Dia pemarah.\u00a0 Ekoran daripada hal itu, kawannya tidak ramai.\n4j.\u00a0 \u00a0Dia pemarah.\u00a0 Rentetan daripada hal itu, kawannya tidak ramai.\n4k.\u00a0 Dia pemarah.\u00a0 Memandangkan hal demikian, kawannya tidak ramai.\n4l.\u00a0\u00a0 Dia pemarah.\u00a0 Disebabkan hal demikian, kawannya tidak ramai.\nDalam kelompok ayat 4 di atas, penanda wacana \u201coleh itu\u201d, \u201ckerana itu\u201d, \u201coleh sebab itu\u201d, \u201csebagai akibatnya\u201d, \u201cdengan itu\u201d, \u201cmaka itu\u201d, \u201coleh hal demikian\u201d, \u201cekoran daripada hal itu\u201d, \u201crentetan daripada hal itu\u201d, \u201cmemandangkan hal demikian\u201d, dan \u201cdisebabkan hal demikian\u201d merupakan penanda wacana sebab \u2013 akibat.\nPenanda Wacana yang menghubungkan ayat yang menunjukkan turutan kronologi atau masa dinamakan sebagai penanda wacana turutan (continuation marker).\u00a0 Sila lihat contoh berikut:\n5a.\u00a0 Mula-mulanya, dia masuk ke rumah.\u00a0 Kemudiannya, dia bertukar baju.\u00a0 Seterusnya, dia berehat.\n5b.\u00a0 Mula-mulanya dia masuk ke rumah.\u00a0 Seterusnya, dia bertukar baju.\u00a0 Akhirnya, dia berehat.\n5c.\u00a0 Mula-mulanya dia masuk ke rumah.\u00a0 Selanjutnya, dia bertukar baju.\u00a0 Seterusnya, dia berehat.\n5d.\u00a0 Mula-mulanya dia masuk ke rumah.\u00a0 Selepas itu, dia bertukar baju.\u00a0 Akhirnya, dia berehat.\n5e.\u00a0 Mula-mulanya dia masuk ke rumah.\u00a0 Sesudah itu, dia bertukar baju.\u00a0 Seterusnya, dia berehat.\n5f.\u00a0 Pertamanya dia masuk ke rumah.\u00a0 Keduanya, dia bertukar baju.\u00a0 Ketiganya, dia berehat.\n5g.\u00a0 Dia telah tersilap.\u00a0 Sebagai langkah susulan, dia telah bermuhasabah dan bertaubat.\n5h.\u00a0 Mula-mula dia melawan kita. Lambat-laun dia akan mengalah juga.\nDalam kelompok ayat 5 di atas, penanda wacana \u201cmula-mulanya\u201d, \u201ckemudiannya\u201d, \u201cseterusnya\u201d, \u201cakhirnya\u201d, \u201cselanjutnya\u201d, \u201cselepas itu\u201d, \u201csesudah itu\u201d. \u201cpertamanya\u201d, \u201ckeduanya\u2019, \u201cketiganya\u201d, \u201csebagai langkah susulan\u201d dan \u201clambat-laun\u201d merupakan penanda wacana turutan.\nPenanda wacana rujukan (reference marker) terletak pada pangkal ayat kedua untuk merujuk kepada perkara yang diperkatakan dalam ayat yang sebelumnya.\u00a0 Sila lihat contoh berikut:\n6a. Disiplin murid harus dikawal.\u00a0 Dalam hal ini, semua pihak harus bekerjasama.\n6b.\u00a0\u00a0 Dunia semakin maju.\u00a0 Sehubungan dengan itu, terdapat rekaan yang baharu hampir pada setiap hari.\nDalam kelompok ayat 6 di atas, penanda wacana \u201cdalam hal ini\u201d dan \u201csehubungan dengan itu\u201d merupakan penanda wacana rujukan.\nPenanda wacana penggantian (substitution marker) menggantikan subjek dalam ayat yang sebelumnya dengan kata ganti nama.\u00a0 Sila lihat contoh berikut:\n7a.\u00a0 Ali, Ahmad dan Hasan pergi berkelah.\u00a0 Mereka balik pada lewat petang.\n7b.\u00a0 Ponteng sekolah semakin menjadi-jadi.\u00a0 Gejala ini harus ditangani.\nDalam kelompok ayat 6 di atas, penanda wacana \u201cmereka\u201d dan \u201cgejala ini\u201d merupakan penanda wacana penggantian.\nTerdapat juga penanda wacana yang mengulangi maklumat pada ayat sebelumnya dengan kata yang sama, sinonim, hubungan hiponim \u2013 hipernim (kata superordinat), hubungan holonim \u2013 meronim atau kolokasi.\u00a0 Penanda wacana demikian dikatakan sebagai penanda wacana leksikal (lexical marker).\u00a0 Sila lihat contoh berikut:\n8a.\u00a0 Dia sangat peramah.\u00a0 Adiknya juga peramah.\n8b.\u00a0 Dia sangat sopan.\u00a0 Kesopanannya disenangi orang ramai.\n8c.\u00a0 Tempat peranginan itu cantik.\u00a0 Ramai orang terpesona oleh pemandangan di pusat pelancongan itu.\n8d.\u00a0 Di taman itu ada teratai, melur, cempaka, kenanga dan mawar.\u00a0 Semua bunga itu sangat cantik.\n8e. Rumah itu mewah.\u00a0 Semua tiang, dinding, lelangit dan lantai dibuat daripada bahan yang terpilih.\n8f. Dia suka memancing.\u00a0 Hasil tangkapannya dapat menjimatkan perbelanjaan dapur.\nDalam ayat 8a, kata \u201cperamah\u201d telah diulang.\u00a0 Dalam ayat 8b, perulangan berlaku pada kata \u201csopan\u201d yang ditambah imbuhan.\u00a0 Dalam ayat 8c, \u201ctempat peranginan\u201d merupakan sinonim bagi \u201cpusat pelancongan\u201d.\u00a0 Dalam ayat 8d, \u201cteratai\u201d, \u201cmelur\u201d, cempaka\u201d, \u201ckenanga\u201d dan \u201cmawar\u201d merupakan hiponim bagi hipernim (kata superordinat) \u201cbunga\u201d.\u00a0 Bagi ayat 8e, \u201ctiang\u201d, \u201cdinding\u201d, \u201clelangit\u201d dan \u201clantai\u201d merupakan meronim bagi holonim \u201crumah\u201d.\u00a0 Bagi ayat 8f, kata \u201cmemancing\u201d dan \u201chasil tangkapan\u201d mempunyai hubungan kolokasi.\nPenanda wacana penjelasan (clarification marker) menjelaskan sesuatu perkara dengan kata lain dalam ayat yang seterusnya.\u00a0 Sila lihat contoh berikut:\n9a.\u00a0 Dia bersahsiah luhur.\u00a0 Dalam kata lain, dia bersifat sopan, jujur, ikhlas dan prihatin.\n9b.\u00a0 Ramai orang salah faham dan salah sangka.\u00a0 Sebenarnya, dia tidak bersalah.\n9c.\u00a0 Kita harus mengamalkan budaya membaca.\u00a0 Sebagai contoh, kita boleh mewujudkan perpustakaan mini di rumah, mengunjungi pameran buku dan kedai buku, dan meminjam buku dari perpustakaan.\nDalam kelompok ayat 9 di atas, penanda wacana \u201cdalam kata lain\u201d, \u201csebenarnya\u201d dan \u201csebagai contoh\u201d merupakan penanda wacana penjelasan.\nPenanda wacana penegasan (emphasis marker) menekankan sesuatu mesej yang hendak disampaikan dalam ayat seterusnya.\u00a0 Sila lihat contoh berikut:\n10a.\u00a0 Dia merupakan kawan yang baik.\u00a0 Sekurang-kurangnya, dia sedia menolong kita.\n10b.\u00a0 Kawasan desa itu tidaklah teruk sangat.\u00a0 Setidak-tidaknya, di sana ada bekalan air paip dan bekalan kuasa elektrik.\n10c.\u00a0 Tiada manusia yang sempurna.\u00a0 Begitu jugalah kita.\n10d.\u00a0 Masalah itu dapat diatasi.\u00a0 Pokok pangkalnya, kita harus bekerjasama.\n10e.\u00a0 Usaha kita hanya sia-sia.\u00a0 Tegasnya, tiada apa-apa yang kita capai setakat ini.\nDalam kelompok ayat 10 di atas, penanda wacana \u201csekurang-kurangnya\u201d, \u201csetidak-tidaknya\u201d, \u201cbegitu juga\u201d, \u201cpokok pangkalnya\u201d dan \u201ctegasnya\u201d merupakan penanda wacana penegasan." "Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN dan Bahasa Utama Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSaranan YAB Perdana Menteri, Dat\u00f3 Sri Ismail Sabri Yaakob untuk mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua bagi negara ASEAN wajar disokong sebulat suara oleh Keluarga Malaysia. Bahasa Melayu telah lama diiktiraf sebagai lingua franca meskipun terdapat 84 bahasa yang dituturkan oleh pedagang yang singgah di Selat Melaka pada abad ke-15 Masihi dan abad ke-16 Masihi.\nSelain itu, bahasa Melayu turut menjadi pembina tamadun suprawilayah dan supraetnik, bahasa ilmu, bahasa persuratan, bahasa pemikiran, bahasa falsafah, bahasa diplomasi dan bahasa pentadbiran malah bahasa perpaduan yang menyatupadukan semua bangsa yang berkunjung ke Selat Melaka pada zaman silam.\nKedudukan bahasa Melayu ketika itu sama tarafnya dengan bahasa Perancis atau bahasa Latin sebagai lingua franca di Eropah. Menurut Valentyn, pada abad ke-17 Masihi atau ke-18 Masihi, jika ada sesiapa di rantau tersebut yang tidak mengetahui tentang bahasa Melayu dan tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu, maka mereka dianggap sebagai tidak berpendidikan. Daripada kenyataan Valentyn tersebut, terbuktilah bahawa bahasa Melayu telah lama mendapat pengiktirafan dan penghormatan tertinggi daripada sarjana barat.\nPada era kolonial, bahasa Melayu dikuasai dengan cemerlang oleh semua bangsa dan menjadi bahasa komunikasi di rumah kaum India dan\u00a0 yang berketurunan Tionghua. Mereka fasih berbahasa Melayu dan anak-anak mereka juga mendapat skor yang tinggi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah.\nBahasa Melayu juga digunakan secara meluas dalam aktiviti harian seperti aktiviti sosial, sukan dan kebudayaan dalam suasana yang mesra dengan penuh rasa muhibah ketika itu. Fakta ini diperakui oleh Clough Thuraisingam, pemimpin kaum India sewaktu era kolonialisasi British dan tercatat dalam Federal Legislative Assembly Debate pada\u00a0 10 Julai 1957, iaitu dalam lajur 2939.\nWalau bagaimanapun, pihak British tidak menyenangi suasana tersebut kerana aspirasi British tidak akan menjadi realiti jika bahasa Melayu diutamakan. Sehubungan dengan itu, secara sistematiknya mereka telah memperkenalkan dasar multibahasa (multilingual) dan multihuruf (multiscripted)\nDasar multibahasa tersebut pada mata kasar kelihatan seolah-olah menguntungkan semua pihak, namun dasar inilah yang menyebabkan minat akan bahasa dan persuratan kebangsaan menjadi merudum dalam kalangan penutur bukan natif bahasa Melayu dalam jangka masa panjang. Etnosentrisme yang diasaskan oleh pihak kolonial British semasa era kolonialisme masih kekal dan menebal dalam kalangan segelintir individu yang bergelar Keluarga Malaysia hingga ke hari ini.\nMereka alpa bahawa bahasa Melayu telah mencipta tamadun yang agung dan ulung pada abad ke-7\u00a0 Masihi kerana pada abad itu sudah ada \u201cnegara bangsa\u201d di Palembang. Negara bangsa itu dikenali sebagai kerajaan Melayu Srivijaya. Daripada catatan I Tsing, diketahui bahawa kerajaan Melayu Srivijaya telah wujud sejak abad ke-7 Masihi dan bahasa yang digunakan untuk belajar, mengajar dan mempelajari falsafah agama Buddha pada era itu ialah bahasa K\u2019un-lun. Bahasa K\u2019un-lun ini dikatakan sebagai bahasa Melayu kuno oleh para pengkaji bahasa.\nBahasa Melayu turut tersebar ke seluruh pelosok dunia yang bukan melalui paksaan, peperangan atau penjajahan sebagaimana tersebarnya bahasa Portugis, bahasa Belanda dan bahasa Inggeris ke kawasan lain. Sebaliknya bahasa Melayu tersebar melalui proses berfikir dan proses sosial dan bukannya melalui proses kuasa politik.\nBahasa Melayu juga mendapat penghormatan dan pengiktirafan tertinggi pada zaman silam kerana bangsa Melayu, keturunan Tionghua dan kaum India berfikir dan bertutur dalam bahasa Melayu dengan penuh yakin. Mereka tidak terpengaruh dengan bahasa asing meskipun terdapat 84 bahasa yang dituturkan oleh pedagang dan mubaligh yang singgah di Selat Melaka ketika itu.\nKini kita memerlukan azam, iltizam, keyakinan dan semangat yang sama daripada Keluarga Malaysia untuk melonjakkan kegemilangan bahasa Melayu ke tahap yang lebih tinggi yang bukan sahaja di rantau ASEAN malah di seantero dunia. Aspirasi Perdana Menteri itu dapat direalisasikan dengan sokongan padu Keluarga Malaysia kerana bahasa Melayu telah memenuhi semua kriteria yang diperlukan bagi pengiktirafan sebagai satu daripada bahasa utama dunia.\nAntara kriteria utama yang telah dipenuhi oleh bahasa kebangsaan kita untuk diiktiraf sebagai bahasa utama dunia termasuklah memiliki jumlah penutur bahasa Melayu yang lebih daripada 300 juta orang di seantero dunia. Jumlah penutur bahasa Melayu agak tinggi di rantau ASEAN dan di luar negara disebabkan oleh Kursi Pengajian Bahasa Melayu dan Kursus Bahasa Melayu yang ditawarkan di Institut Pengajian Tinggi Luar Negara. Bahasa Melayu juga diajarkan secara rasmi di institusi pendidikan di Malaysia dan menjadi bahasa rasmi di empat buah negara, yakni Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam dan Singapura.\nBahasa Melayu turut memiliki laras rasmi atau bahasa baku yang standard, dituturkan oleh penutur natif yang bahasa ibundanya bukan bahasa Melayu, serta digunakan sebagai bahasa perdagangan di Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, selatan Thailand dan selatan Filipina. Selain itu, bahasa Melayu mempunyai khazanah persuratan yang besar dalam pelbagai ilmu khususnya di universiti luar negara. Semua kriteria yang diperlukan untuk menjadi bahasa utama dunia telah dipenuhi oleh bahasa Melayu.\nSehubungan dengan itu, marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam menzahirkan harapan dan visi Perdana Menteri Malaysia agar bahasa negara ini \u201cDuduk sama rendah, berdiri sama tinggi\u201d dengan bahasa utama dunia. Kita boleh mengembalikan kegemilangan yang pernah digapai oleh bahasa pertiwi pada suatu ketika dahulu jika Keluarga Malaysia yang menghuni bumi Malaysia bersikap sehati sejiwa, tekal dan kekal dalam semua kedudukan, keadaan dan berpegang teguh pada peribahasa Melayu \u201cDi mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung\u201d." "Waspada dengan Fenomena Garis Badai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Pada 1 Julai yang lalu, fenomena awan berbentuk garis panjang yang dikenali sebagai garis badai telah dikesan berlaku di sekitar Putatan dan Kota Kinabalu, Sabah. Fenomena ini telah tular dalam media sosial sehingga mencetuskan kebimbangan masyarakat.\nMenerusi siaran media sosial Jabatan Meteorologi Malaysia, garis badai ialah kelompok awan ribut petir aktif yang membentuk barisan di laut dan bergerak ke daratan. Panjangnya boleh mencapai hingga beratus kilometer dan tempoh hayatnya adalah hingga beberapa jam.\nPada kebiasaannya, fenomena ini berlaku pada musim monsun barat daya dan selalu terjadi pada waktu pagi dan waktu malam. Fenomena ini biasanya berlaku di kawasan bersempadanan dengan laut seperti pantai barat Semenanjung Malaysia, barat Sabah dan Sarawak.\nAntara tanda kewujudan garis badai ialah kelihatan pembentukan awan jalur tebal, kumulonimbus yang naik meninggi dan datang dari laut dan udara, kelajuan angin yang meningkat secara mendadak menjadi langkisau semasa garis badai menghampiri serta suhu turun secara mendadak.\nFenomena ini boleh menyebabkan hujan lebat dan akhirnya mengakibatkan banjir kilat yang disertai dengan angin kencang, guruh dan petir. Selain itu, fenomena ini juga berbahaya kepada operasi penerbangan, kerosakan harta benda dan kemudahan awam, malah boleh menyebabkan kecederaan dan kehilangan nyawa. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar berada di tempat yang selamat, pindah ke tempat yang lebih tinggi jika banjir kilat dijangka berlaku dan tidak mengambil risiko untuk meneruskan pemanduan jika fenomena ini sedang berlaku." "CLEVER Percepat Pembangunan dan Teknologi EV Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIskandar Puteri \u2013 Program Campuses for Local Electric Vehicle Expeditious Roll-out (CLEVER) yang diterajui oleh NanoMalaysia Berhad (NMB) yang akan dilaksanakan di universiti terpilih mampu mempercepat pembangunan dan teknologi kenderaan elektrik (EV) tempatan.\nMenurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Seri Dr. Adham Baba, program CLEVER mampu menjadi platform atau sandbox pengawalseliaan dan inovasi bagi membolehkan syarikat pemula dam inovator menjalankan ujian masa nyata berkaitan teknologi EV dalam persekitaran terkawal.\nHal ini meliputi mobiliti elektrik dua roda, stesen penukaran bateri, pembangunan penukaran kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada EV, penggunaan sistem autonomi dan pengecasan luar grid menggunakan tenaga boleh diperbaharui yang dilaksanakan di kawasan kampus.\nTambahnya, inisiatif CLEVER akan dimulakan di EduCity Iskandar, diikuti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).\nCLEVER menyokong sasaran Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 untuk menyediakan kira-kira lima ribu buah stesen mengecas EV bagi mengukuhkan infrastruktur EV yang seterusnya menggalakkan untuk memiliki dan menggunakan EV sebagai pengangkutan pilihan.\n\u201cPelibatan NMB signifikan dalam mewujudkan ekosistem kondusif yang menggalakkan bakat tempatan untuk membangunkan kecemerlangan teknologi dan memasarkan pencapaian mereka,\u201d katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran CLEVER.\nSementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif NMB, Dr. Rezal Khairi Ahmad, program CLEVER bukan sahaja dapat merancakkan penggunaan teknologi EV di kawasan kampus tetapi juga berupaya menangani isu seperti aspek mampu milik, bakat mahir tempatan serta sokongan teknikal, kekurangan infrastruktur terkemuka dan kebimbangan jarak melalui pendekatan terbaik.\n\u201cCLEVER juga akan memberikan pendekatan yang sangat bijak untuk Malaysia mencapai kedaulatan teknologi dan ekuiti komersial dalam sektor EV sama ada di peringkat tempatan mahu pun di peringkat serantau,\u201d katanya lagi.\nYB Datuk Seri Dr. Adham Baba merasmikan program CLEVER.\n\u00a0\n(Sumber: Facebook MOSTI)" "Isirung Kelapa Sawit sebagai Alternatif Makanan Ternakan Ayam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIsirung kelapa sawit berpotensi besar untuk dimajukan dan digunakan secara meluas dalam industri makanan haiwan, terutamanya ayam. Hal ini dikatakan demikian kerana isirung kelapa sawit mempunyai kelebihan dari segi kandungan khasiat yang tinggi dan kos yang rendah.\nBerdasarkan kajian, penyediaan dedak untuk ternakan dengan menggunakan isirung kelapa sawit adalah lebih kompetitif berbanding dengan kaedah rumusan konvensional sedia ada. Hal ini termasuklah kelebihan dari sudut penjimatan kos yang dijangka mampu memberikan nilai tambah dan meringankan beban pengusaha industri ruminan dalam jangka masa panjang yang kini kebanyakannya mengimport makanan haiwan daripada negara luar.\nSumber isirung kelapa sawit yang banyak di negara ini seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya bagi tujuan komersial sebagai alternatif makanan haiwan industri ruminan tempatan, terutamanya ternakan ayam yang berdepan krisis kekurangan bekalan dan kenaikan harga. Secara purata, dianggarkan sekitar 2.4 juta hingga 2.6 juta tan isirung kelapa sawit dieksport pada setiap tahun dan hanya 20 peratus daripada pengeluaran isirung kelapa sawit negara diperuntukkan untuk pasaran tempatan. Hal ini menjadikan Malaysia sebagai pengeluar isirung kedua terbesar dunia selepas Indonesia.\nIsirung kelapa sawit sangat sesuai digunakan sebagai sumber makanan ayam kerana mengandungi tenaga, protein dan karbohidrat. Selain menjadi sumber makanan ayam, isirung kelapa sawit juga dapat mengurangkan kelembapan dalam najis ayam, sekali gus mengurangkan pencemaran ammonia dan lalat dari ladang ayam terbabit. Jika digunakan sebagai sumber makanan ternakan ayam telur pula, cangkerang telur akan menjadi lebih keras disebabkan oleh kandungan kalsium dan fosforus yang tinggi dalam isirung kelapa sawit.\nSumber makanan haiwan yang dicampur dengan isirung kelapa sawit juga mampu meningkatkan selera makan haiwan ternakan berdasarkan bau dan rasanya serta memperbaiki kecekapan pertukaran makanan untuk memaksimumkan kenaikan berat haiwan ternakan. Makanan yang mengandungi mikrob itu juga menjadikan haiwan lebih sihat, sekali gus mengurangkan penggunaan ubat-ubatan, mempermudah sistem penghadaman serta mengurangkan stres.\nSelain itu, isirung kelapa sawit lebih digunakan sebagai sumber makanan ternakan lembu tenusu dan daging serta jarang-jarang digunakan sebagai sumber makanan ayam ternakan kerana kandungan serabut yang agak tinggi. Namun begitu, kandungan serabut dapat dikurangkan melalui penggunaan kulat Aspergilus, Trichoderma dan Rhizopus yang bertindak menghancurkan isirung kelapa sawit menerusi proses fermentasi selama tiga hari hingga empat hari. Proses fermentasi turut membantu meningkatkan kandungan protein isirung kelapa sawit.\nSebenarnya, banyak kajian dan penyelidikan telah dilakukan mengenai cara untuk mengurangkan kandungan serabut dalam isirung kelapa sawit. Antara kaedah yang paling praktikal dan kos efektif ialah dengan membuang kulit isirung kelapa sawit. Dengan memanfaatkan isirung kelapa sawit sebagai sumber makanan ternakan ayam, hal ini membantu industri ruminan berkembang tanpa perlu terus bergantung pada sumber makanan yang sebahagian besarnya diimport seperti jagung dan kacang soya yang kini mencecah nilai sebanyak empat juta tan setahun.\nKementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sentiasa meningkatkan usaha mempromosi penggunaan isirung kelapa sawit sebagai sumber makanan ayam ternakan bagi mengawal harga dan bekalan ayam untuk tempoh jangka masa panjang. Antara punca kenaikan harga ayam adalah disebabkan oleh harga makanan ayam yang tinggi dengan peningkatan daripada RM500 kepada RM1900 untuk satu tan.\nPada masa ini, sumber makanan bijirin yang diperbuat daripada jagung dan kacang soya menghadapi kekurangan di seluruh dunia akibat perang di Ukraine dan cuaca yang tidak menentu. Malaysia mengimport sumber makanan ayam berasaskan jagung dan kacang soya disebabkan negara tidak menanam jagung dan kacang soya untuk ternakan. KPPK juga akan turut mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan untuk mengkaji semula dasar eksport isirung kelapa sawit yang kini dieksport untuk industri ternakan lembu Eropah supaya lebih memihak kepada industri ayam pedaging tempatan.\nKPPK juga akan bekerjasama dengan agensi berkaitan, syarikat berkaitan kerajaan dan kerajaan negeri untuk melihat dengan segera ketersediaan isirung kelapa sawit sebagai sumber makanan untuk industri ternakan ayam negara dapat dilakukan. Sebagai contohnya, kilang pemprosesan makanan haiwan ternakan berasaskan sumber alternatif isirung kelapa sawit yang bernilai RM20 juta bakal beroperasi di Bukit Kor dekat Marang, Terengganu pada hujung tahun ini. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan Perladangan Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr. Azman Ibrahim, pembinaan kilang hasil kerjasama pelaburan syarikat berkaitan kerajaan negeri dan syarikat swasta itu dalam proses akhir persiapan membabitkan kelulusan pihak berkuasa tempatan. Perbincangan telah diadakan secara terperinci dengan pakar formulasi makanan untuk haiwan ternakan agar kilang ini mampu mengeluarkan sumber makanan haiwan alternatif selain penggunaan bijirin jagung dan kacang soya. Kilang ini akan menggunakan isirung kelapa sawit sebagai bahan utama makanan haiwan ternakan dan apabila beroperasi kelak, kilang ini dijangka mampu memenuhi sebanyak 80 peratus permintaan daripada penternak haiwan di negeri Terengganu.\nTerengganu mempunyai sumber isirung kelapa sawit yang banyak kerana terdapat puluhan ribu hektar ladang kelapa sawit milik syarikat berkaitan kerajaan negeri seperti TDM Berhad dan Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd. Harga bagi setiap satu beg (50 kilogram) makanan haiwan ternakan ini mampu dijual lebih rendah, iaitu sekitar RM35 berbanding dengan RM70 pada masa ini. Hal ini dapat membantu penternak mendapatkan makanan haiwan dengan lebih murah sekali gus merancakkan lagi industri ternakan di Terengganu.\nSelain itu, KPPK juga akan bekerjasama rapat dengan institut penyelidikan seperti universiti awam untuk melihat kaedah untuk meningkatkan lagi kualiti isirung kelapa sawit bagi menjadikannya sebagai pilihan utama sumber makanan ayam penternak ayam. Hal ini termasuklah kajian untuk mengurangkan kandungan serabut dalam isirung kelapa sawit.\nPengeluaran produk domestik berasaskan isirung kelapa sawit untuk industri ruminan negara sewajarnya diperkukuh dan usaha ini wajar disokong. Isu kenaikan harga ayam pula perlu dilihat secara holistik dalam rantaian bekalan makanan. Punca kenaikan harga ayam boleh dikaitkan dengan faktor bekalan dan permintaan di samping beberapa dimensi lain seperti dasar perdagangan, harga tenaga dan ketidakcekapan rantaian bekalan makanan. Faktor bekalan makanan yang penting termasuklah kos tenaga kerja yang tinggi dan kos makanan ayam juga perlu diteliti. Selain itu, kejatuhan nilai ringgit juga memainkan peranan dalam kenaikan harga makanan memandangkan negara mengimport makanan haiwan denga kos sebanyak RM4.6 bilion pada tahun 2020.\nDari segi permintaan pula, trend pengambilan makanan di Malaysia menunjukkan peningkatan dalam banyak variasi dan kuantiti yang bernilai tinggi serta lebih tinggi protein seperti daging ayam. Malaysia merupakan negara tertinggi penggunaan ayam per kapita selepas Amerika Syarikat dan Israel. Penggunaan per kapita ayam di negara ini adalah dalam lingkungan 47.9 kilogram. Oleh itu, sudah tiba masanya kerajaan mengambil serius tentang isu kekurangan bekalan ayam dan kenaikan harga ayam dengan melonjakkan industri isirung kelapa sawit tempatan sebagai alternatif sumber makanan kepada industri ternakan ayam selain mengurangkan kebergantungan tinggi kepada sumber makanan ayam ternakan import." "Bantut dan Malpemakanan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada masa ini, terdapat peningkatan tren masalah kekurangan zat makanan serta peningkatan kadar berat badan berlebihan, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Secara umumnya, terdapat empat situasi malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak, iaitu kurang berat badan (underweight), terbantut\u00a0(stunting), tersusut (wasting) dan berat badan berlebihan (overweight) atau obesiti.\u00a0Malaysia kini sedang berdepan dengan masalah beban berganda malpemakanan (double burden malnutrition)\u00a0dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur 5 tahun.\nDi Malaysia, satu daripada lima kanak-kanak mengalami masalah bantut. Bantut merupakan keadaan yang merujuk seseorang itu mempunyai ketinggian yang rendah untuk umurnya (di bawah dua sisihan piawai dari median Standard Pertumbuhan Kanak-kanak) berdasarkan standard rujukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang dijalankan oleh Institut Kesihatan Umum, peratusan kanak-kanak terbantut menunjukkan peningkatan dari 8.9 peratus pada tahun 2006 kepada 14 peratus pada tahun 2016 bagi kanak-kanak berumur kurang daripada enam bulan. Tren peningkatan yang sama juga dilihat pada kanak-kanak berumur 12 bulan hingga 23 bulan, iaitu peningkatan daripada 8.9 peratus kepada 17 peratus, manakala dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun, berlaku peningkatan dari 17.5 peratus kepada 20.5 peratus. Tinjauan NHMS terkini pada tahun 2019 melaporkan peratus terbantut dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun telah meningkat kepada 21.8 peratus.\nAntara faktor yang menyumbang kepada masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak ialah kekurangan nutrisi, termasuklah diet yang tidak dipelbagai, nutrisi dan kesihatan ibu hamil yang lemah, amalan pemakanan bayi dan kanak-kanak yang tidak mencukupi, peningkatan kadar penyakit berjangkit dan kelemahan dalam amalan penyusuan susu ibu.\nBantut mempunyai implikasi jangka panjang terhadap kehidupan individu dan masyarakat. Bantut boleh meningkatkan risiko mortaliti\u00a0\u00a0dan morbiditi\u00a0disebabkan oleh kekurangan zat makanan yang kronik dalam jangka masa panjang. Kanak-kanak terbantut akan mengalami gangguan pertumbuhan fizikal, sistem imuniti yang rendah, penurunan kognitif, mudah dijangkiti penyakit, pencapaian akademik menurun, mengurangkan produktiviti, dan menyumbang kepada penyakit kronik ketika dewasa nanti.\nBantut juga dikaitkan dengan sasaran pemakanan global yang lain, iaitu anemia pada wanita dalam umur reproduktif, berat pada waktu lahir yang tidak mencukupi, berat badan berlebihan pada waktu kanak-kanak, penyusuan susu ibu secara eksklusif, dan kejadian susut. Susut juga adalah disebabkan oleh faktor yang sama yang menyumbang kepada bantut.\nSelari dengan Rancangan Malaysia Ke-12, satu daripada usaha murni kerajaan dalam menangani isu bantut dalam kalangan kanak-kanak ialah merangka beberapa strategi yang digariskan dalam Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia 2.0 melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Pemakanan Malaysia 2016 \u2014 2025. Antara strategi yang digariskan adalah memperkukuh strategi pemakanan untuk kanak-kanak dan wanita dalam umur reproduktif, \u00a0intervensi pemakanan untuk kumpulan rentan di samping memastikan sekuriti makanan dan pemakanan untuk semua.\nBaru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melancarkan Program Media #AnakMalaysiaSihat sebagai satu daripada advokasi yang dijalankan bagi menangani masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak. Dalam usaha untuk menangani masalah bantut, KKM telah menyediakan pelan strategik yang akan dilaksanakan dalam tempoh lapan tahun. Kumpulan sasar bagi strategi ini termasuklah ibu bapa, pengasuh, ahli keluarga, guru, majikan, rakan dan komuniti.\nProgram Media #AnakMalaysiaSihat juga mengetengahkan mesej seribu hari pertama kehidupan sebagai pencegahan masalah bantut dengan amalan pemakanan sihat. Seribu hari pertama kehidupan merupakan tempoh yang bermula daripada awal kehamilan sehinggalah anak yang dilahirkan itu berumur dua tahun. Dalam tempoh ini, keadaan mental dan fizikal anak-anak berkembang secara maksimum. Secara terperinci, tempoh ini dibahagikan kepada beberapa bahagian, bermula daripada prakehamilan, kehamilan, kelahiran, tahun pertama dan tahun kedua.\nSecara umumnya, tempoh seribu hari pertama adalah amat penting bagi penjagaan kesihatan dan pemakanan yang sempurna untuk ibu dan anak. Tempoh ini juga merupakan masa keemasan bagi anak dari segi pertumbuhan otak, organ penting seperti organ metabolik, perkembangan dan kematangan sistem saluran cerna semasa tempoh awal kehamilan (12 minggu), perkembangan kognitif dan kecerdasan, sistem ketahanan badan dan kekebalan serta komposisi tubuh dan otot.\nAmalan pemakanan sihat adalah penting sebagai persediaan bagi ibu dalam merancang kehamilannya. Status kesihatan dan pemakanan wanita sebelum hamil akan mempengaruhi kesihatan semasa hamil dan bayi dalam kandungan. Fasa kehamilan yang lebih sihat dapat dilalui oleh seseorang ibu jika isu kesihatan dan pemakanan seperti kekurangan nutrisi, masalah anemia, obesiti, penyakit kronik dan lain-lain dapat dikenal pasti dengan lebih awal. Persediaan prakehamilan antara tiga bulan hingga enam bulan sebelum hamil adalah sangat penting bagi memastikan status kesihatan diri adalah dalam keadaan yang baik dan keperluan nutrisi telah dipenuhi. Amalan pemakanan sihat perlu diteruskan sepanjang tempoh kehamilan bagi memastikan ibu mendapat cukup nutrisi dari tempoh kehamilan bermula daripada trimester pertama hingga trimester ketiga.\nSeterusnya, amalan penyusuan susu ibu kepada bayi secara eksklusif dalam tempoh enam bulan pertama kehidupan dan pemberian makanan pelengkap yang mencukupi selain meneruskan penyusuan susu ibu sehingga berumur 24 bulan merupakan kunci utama bagi pertumbuhan kanak-kanak yang optima. Pemakanan yang seimbang, berkhasiat, pelbagai dan mencukupi perlu diberikan kepada kanak-kanak untuk memastikan perkembangan otak dan pertumbuhan fizikal yang baik.\nSebagai kesimpulannya, isu bantut dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia perlu diberikan perhatian sewajarnya dan ditangani dengan segera. Usaha dan advokasi secara berterusan kepada golongan berisiko perlu diberi perhatian sewajarnya oleh pelbagai pihak. Hal ini termasuklah peranan ibu bapa dan penjaga yang perlu memastikan amalan penyusuan susu ibu dan pemakanan sihat dalam kalangan bayi dan kanak-kanak tidak diabaikan.\n\u00a0\nPenulis ialah Pegawai Sains (Pemakanan) di Kementerian Kesihatan Malaysia." "Sambutan Hari Asteroid Antarabangsa 2022 Tarik Minat Generasi Muda Menerokai Bidang Astronomi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHari Asteroid Antarabangsa merupakan program kesedaran global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang memberikan inspirasi, mendidik dan menggalakkan pelibatan pelbagai lapisan masyarakat dunia untuk mengetahui kebaikan dan keburukan asteroid. Sambutan ini diraikan pada 30 Jun setiap tahun bersempena dengan hari memperingati kesan hentaman asteroid terbesar yang berlaku pada tahun 1908 di Tunguska, Siberia, Rusia.\nPelbagai aktiviti interaktif telah diadakan bersempena dengan sambutan Hari Asteroid Antarabangsa 2022 untuk menarik minat pelbagai lapisan masyarakat terhadap asteroid. Sehubungan dengan itu, peranan Planetarium Negara sebagai National Outreach Coordinator, International Astronomical Union untuk Malaysia amat mengalu-alukan badan kerajaan, pihak swasta, universiti, sekolah, badan bukan kerajaan, orang perseorangan, dan rakan strategik Planetarium Negara untuk menyertai dan mempromosikan program sambutan Hari Asteroid Antarabangsa 2022. Planetarium Negara menghargai dan meraikan sambutan Hari Asteroid Antarabangsa 2022 yang dijalankan oleh semua organisasi di seluruh Malaysia untuk tujuan pelaporan dan promosi.\nPelancaran sambutan Hari Asteroid Antarabangsa 2022 Peringkat Kebangsaan telah diadakan pada 30 Jun 2022 menerusi siaran langsung Facebook rasmi Planetarium Negara. Pelancaran ini telah memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia dan masyarakat di seluruh dunia dalam memperingati kesan hentaman asteroid terbesar yang menjadi sejarah dunia.\nMedia sosial seperti Facebook Planetarium Negara merupakan medium penting yang digunakan untuk memberikan pengetahuan kepada rakyat Malaysia berkaitan dengan Hari Asteroid Antarabangsa. Generasi muda di Malaysia kini diharapkan dapat menceburkan diri dalam kerjaya bidang angkasa. Lebih membanggakan apabila rakyat Malaysia dan generasi muda di Malaysia pada masa ini dapat mengetahui kepentingan bidang angkasa dan penyelidikan bidang angkasa di Malaysia.\nSambutan Hari Asteroid Antarabangsa 2022 diserikan dengan tayangan video asteroid secara langsung yang memaparkan perkembangan dan fakta menarik berkaitan dengan asteroid. Pada asasnya, asteroid merupakan saki-baki batuan yang tidak berjaya membentuk planet. Kebanyakan asteroid berada di orbit masing-masing. Terdapat asteroid yang dikategorikan sebagai Near Earth Asteroid (NEA), yakni asteroid dengan orbit yang lebih dekat dengan bumi jika dibandingkan dengan matahari.\nSementara itu, asteroid yang berdiameter lebih daripada satu meter dikenali sebagai Potentially Hazardous Asteroid (PHA). PHA ini berlaku apabila orbit NEA berlanggar dengan bumi dan menyebabkan kerosakan. Keadaan orbit asteroid yang bersilang dengan orbit bumi merupakan faktor asteroid berpotensi menghentam bumi. Hal ini jelas menunjukkan bahawa daya tarikan graviti bumi yang besar menyebabkan bumi sering menjadi sasaran objek lain di angkasa.\nFakta menarik lain tentang asteroid ialah kehadiran planet Musytari yang dapat mengurangkan risiko pelanggaran asteroid dengan bumi disebabkan oleh tarikan gravitinya yang tinggi. Lingkaran asteroid terletak di antara planet Marikh dengan planet Musytari. Namun begitu, ketidakseimbangan graviti antara planet Marikh dengan planet Musytari menyebabkan asteroid terpelanting keluar daripada lingkaran asteroid.\nDi samping itu, penemuan asteroid telah ditemui oleh ahli astronomi dengan menggunakan teleskop untuk mencari objek yang bergerak relatif. Ahli astronomi telah menggunakan teleskop untuk mengambil gambar bahagian langit berulang kali selama beberapa jam atau beberapa hari. Pergerakan asteroid, planet dan komet telah menyebabkan perubahan kedudukan objek dari satu gambar ke satu objek yang lain. Sebagai contohnya, ahli astronomi dan ahli matematik terkenal Itali, Giuseppe Piazzi merupakan orang pertama yang menemui asteroid pada tahun 1801 menerusi penemuan objek kecil dengan diameter 965 kilometer (600 batu) antara orbit Marikh dengan orbit Musytari.\nSecara keseluruhannya, paparan demi paparan fakta menarik berkenaan dengan asteroid bersempena dengan sambutan Hari Asteroid Antarabangsa 2022 yang ditayangkan dapat mengukuhkan penyelidikan asteroid seiring dengan langkah untuk menarik minat generasi muda kini menerokai bidang astronomi pada masa akan datang." "Lima Negara ASEAN Komited Cegah Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Lima negara ASEAN telah menyatakan komitmen berterusan dalam mencegah dan menangani pembakaran terbuka khususnya melibatkan hutan, ladang dan tanah gambut yang menjadi punca utama jerebu merentas sempadan.\nLima negara tersebut ialah Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand yang merupakan ahli jawatankuasa dalam Mesyuarat Technical Working Group dan Sub-Regional Ministerial Steering Commitee (MSC) Ke-23 berkaitan Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan yang bermula semalam bagi membincangkan strategi pencegahan dan mitigasi pencemaran jerebu merentas sempadan.\nMesyuarat yang diadakan secara dalam talian melalui persidangan video itu dipengerusikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, YB Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mewakili Malaysia sebagai tuan rumah pada tahun ini dengan pelibatan Menteri Alam Sekitar dan wakil daripada lima buah negara di selatan rantau ASEAN.\u00a0\nDalam kenyataan media oleh Menteri Alam Sekitar dan Air yang dikeluarkan pada petang ini, tiada sebarang insiden jerebu merentas sempadan berlaku di selatan rantau ASEAN sejak tahun 2020 hingga sekarang disebabkan oleh cuaca yang lembap dan taburan hujan yang berada pada paras hampir normal.\nBerdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre, rantau ASEAN dijangka mengalami suhu panas melebihi paras normal sekitar bulan Julai hingga bulan Oktober pada tahun ini. Namun begitu, fenomena El-Nino yang menyebabkan cuaca yang lebih panas dan kering dijangka tidak berlaku.\nWalau bagaimanapun, bagi memantapkan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan cuaca luar jangka, pelbagai program, projek dan aktiviti berkaitan pencegahan kebakaran tanah gambut, pembangunan kapasiti negara MSC dan rantau ASEAN berkaitan pemantauan cuaca, titik panas, jerebu serta pemadaman kebakaran telah dirangka dalam mesyuarat ini.\nSejak tahun 2003, Jabatan Meteorologi Malaysia telah membekalkan maklumat amaran kebakaran hutan dan tanah gambut melalui Fire Danger Rating System kepada semua negara ASEAN. Inisiatif ini akan diteruskan dengan beberapa penambahbaikan termasuklah produk baharu ramalan kebakaran yang akan dilaksanakan pada penghujung tahun ini.\nDalam mesyuarat tersebut, delegasi Malaysia diketuai oleh Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, YB Dato\u2019 Mansor Haji Othman dan disertai oleh pegawai kanan Kementerian Alam Sekitar dan Air, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan agensi lain yang berkaitan." "Teknologi Pemangkin Utama Bandar Mampan dan Pintar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013 Majlis pemeteraian kerjasama telah diadakan antara Pertubuhan Bandar Mampan dan Pintar Malaysia (MSCA) dengan empat organisasi, iaitu Malaysian Research for Technology and Innovation (MRANTI), Technology Depository Agency Berhad (TDA), Malaysia Industry Forward Association (MIFA) dan Malaysian Photovoltaic Industry Association (MPIA) dalam usaha untuk mentransformasikan sosioekonomi negara melalui program Bandar Pintar.\nEmpat bidang kerjasama yang telah dikenal pasti ialah National Technology & Innovation Sandbox (NTIS) Smart Cities Sandbox antara MSCA dengan MRANTI, Inisiatif Bandar Pintar dan Program Kerjasama Industri (ICP) antara MSCA dengan TDA, Teknologi dan Perkongsian Pengetahuan dan Pembangunan Industri antara MSCA dengan MIFA serta Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui dan Perkongsian\u00a0 Pengetahuan serta Pembangunan Industri antara MSCA dengan MPIA.\nSemua kolaborasi ini memberikan penekanan terhadap kerjasama perkongsian teknologi dan pengetahuan, penyediaan nasihat teknikal dan bukan teknikal serta pembangunan industri ke arah bandar mampan dan pintar. Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) selaku sekretariat tetap MSCA sentiasa berusaha untuk merealisasikan program Bandar Pintar di seluruh negara.\nTimbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim berkata semua kerjasama ini membolehkan teknologi baharu diuji dalam persekitaran sebenar selain menerima kemudahan kawal selia dan pembiayaan sebelum dibawa ke dalam pasaran dan disebarkan ke seluruh negara. Menurutnya lagi,\nSaya optimis kerjasama yang dimeterai merupakan usaha yang berkesan dalam mencapai objektif untuk mengukuh pelibatan penggiat industri dan sektor kerajaan dalam merealisasikan agenda pembangunan mampan dan bandar pintar negara pada masa hadapan.\nTambahnya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menghargai dan mengalu-alukan inisiatif sebegini selari dengan tanggungjawab kementerian dalam memperkukuh peranan serta sumbangan teknologi dan inovasi terhadap agenda pembangunan mampan serta bandar pintar negara.\nPelaksanaan konsep Bandar Pintar dicetuskan untuk memudahkan pengurusan sumber dan alam bina yang lestari dan mesra pengguna. Konsep ini bermatlamat untuk mewujudkan bandar yang sesuai didiami, bekerja dan beriadah dengan kualiti hidup dan kesejahteraan yang tinggi selain berpotensi menghasilkan keuntungan kewangan.\nKepentingan menjadikan negeri di Malaysia sebagai Bandar Pintar turut diberikan keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12, selari dengan hasrat dan tanggungjawab MOSTI dalam memperkukuh peranan serta sumbangan teknologi terhadap agenda pembangunan mapan negara.\n\u00a0\n(Sumber: Facebook MOSTI)" "Jermang Keluli Bahan Turapan Alternatif Lestari\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBahan buangan merupakan hasil bahan sampingan yang terdiri daripada sisa perindustrian, komersial dan hasil aktiviti perobohan dan pemusnahan bangunan. Bahan ini terdiri daripada bahan yang sudah tidak bernilai dan memerlukan pelaksanaan serta pengurusan yang efektif untuk penggunaan semula atau kitar semula bahan tersebut sebagai bahan yang memberikan nilai tambah yang baik. Kaedah ini menyebabkan kebergantungan pada penggunaan bahan semula jadi semata-mata dapat\u00a0dapat dijaga dan dihadkan.\nBahan keluli merupakan satu daripada bahan buangan yang paling banyak dikitar semula di dunia untuk penggunaan sektor kejuruteraan jalan. Keperluan penggunaan bahan keluli di India menunjukkan berlakunya peningkatan seperti yang direkodkan pada tahun 2013. Pada tahun berkenaan, pengeluaran bahan keluli adalah sebanyak 99 juta tan dan telah meningkat kepada 125 juta tan pada tahun 2016. Sementara itu, \u00a0negara China telah merekodkan pengeluaran bahan utama keluli dan bahan sampingan keluli, iaitu jermang keluli masing-masing sebanyak 626.7 juta tan dan 90 juta tan pada tahun 2010. Pengeluaran jermang keluli secara tahunan di China mencapai sehingga 100 juta tan setahun tetapi kadar penggunaannya hanyalah sekitar 29.5 peratus sahaja.\nSecara umumnya, pengeluaran tiga tan keluli akan menghasilkan sebanyak satu tan jermang keluli. Penggunaan jermang keluli banyak digunakan dalam pembinaan jalan raya, pengeluaran simen, guna semula dan pertanian. Penggunaan jermang keluli yang berkesan memberikan alternatif yang praktikal dalam melestarikan bahan secara penggunaan yang maksimum di samping meminimumkan bahan lupus di tapak pelupusan dan penyimpanan stok sementara.\nJermang keluli dihasilkan dalam industri metarlugi melalui proses pembuatan bahan keluli. Terdapat dua kumpulan jermang yang utama, iaitu jemang relau keluli dan jermang relau bagas. Jermang relau keluli dihasilkan\u00a0dalam proses mencair\u00a0semasa pembuatan keluli daripada logam panas \u00a0dengan suhu kira-kira 1600 darjah Celsius. Jermang keluli yang terhasil daripada proses ini adalah sebanyak 15 peratus hingga 20 peratus bersamaan dengan unit keluli. Jermang relau keluli terdiri daripada tiga jenis proses pembuatan, iaitu relau oksigen bes (BOF), relau arka elektrik (EAF) dan keluli centong (LS). Sementara itu, jermang relau bagas dihasilkan daripada proses peleburan bijih besi dan batu kapur atau dolomit. Jermang relau bagas merupakan bahan berasaskan kapur yang mempunyai nilai pH lebih besar daripada tujuh.\nPenghasilan jermang keluli telah memberikan potensi kekuatan fizikal yang baik. Bahan jermang keluli daripada keluaran pembuatan BOF dan EAF menunjukkan penggunaannya sangat berjaya dalam kerja pembinaan kejuruteraan awam. Penggunaan jermang keluli sebagai bahan binaan kerja kejuruteraan awam seperti bahan dalam simen, bahan pengisi dan aplikasi umum telah digunakan secara efektif dan mendapat permintaan yang tinggi.\nSementara itu, pelbagai faedah diperolehi apabila jermang keluli digunakan sebagai bahan binaan alternatif secara teknikal dan kepada alam sekitar. Jermang keluli telah digunakan secara meluas dalam pembinaan jalan raya kerana mempunyai sifat kekerasan yang sama atau lebih baik daripada agregat kasar semula jadi. Penggunaan jermang keluli sebagai agregat dalam pembinaan jalan raya memberikan kelebihan dari sudut guna semula bahan dan persekitaran. Penggunaan jermang keluli sebagai pengganti agregat kasar memberikan prestasi pencirian kualiti dan sifat teknikal yang lebih baik berbanding dengan penggunaan hanya agregat semula jadi dalam kerja pembinaan turapan struktur tapak jalan.\nSelain dalam pembinaan jalan raya, sifat jermang keluli yang mempunyai rintangan geseran dan lelasan yang tinggi turut digunakan secara meluas dalam pembinaan tempat letak kereta yang memerlukan rintangan haus yang tinggi. Di samping itu, sifat jermang keluli dengan ketumpatan dan kekerasan yang tinggi telah menyumbang kepada kesesuaian penggunaan bahan berkenaan dalam kerja pembinaan turapan struktur tapak jalan. Penggunaan jermang keluli memberikan nilai kekuatan ikatan yang lebih baik berbanding daripada agregat basalt dan granit.\nMenurut Peraturan Kualiti Alam Sekitar Malaysia, buangan berjadual jermang keluli diklasifikasikan sebagai sisa tidak berbahaya yang boleh dilupuskan ke tapak pelupusan. Walau bagaimanapun, pelupusan jermang keluli ini memerlukan kawasan pelupusan besar yang agak tidak ekonomi untuk dijalankan. Penggunaan semula sisa jermang keluli yang optimum akan memastikan penggunaan tapak pelupusan dapat dikurangkan.\nKaedah pembinaan turapan struktur jalan dipengaruhi oleh pelbagai faktor yang membuatkan jalan yang dibina berkualiti dan mempunyai jangka hayat yang lama. Oleh sebab itu, penilaian yang lengkap mengikut keperluan pembinaan pada setiap lapisan turapan jalan perlulah dinilai bagi memastikan pembinaan turapan struktur jalan yang baik dapat dihasilkan. Beberapa faktor penting bahan mempengaruhi kelakuan agregat dalam pembinaan turapan struktur tapak jalan. Antara faktor yang perlu diambil kira termasuklah elemen minerologi bahan, penggredan bahan agregat dan tekstur bahan agregat yang digunakan. Peningkatan jangka hayat pembinaan lapisan turapan pula akan mengurangkan kos penyelenggaraan dan mencegah daripada pembinaan semula turapan struktur tapak jalan.\nElemen mineralogi memainkan peranan dalam sifat kelakuan agregat. Kehadiran unsur sebatian yang boleh menganggu kestabilan turapan dengan kehadiran unsur agregat yang tidak diperlukan boleh mengakibatkan berlakunya penggeledakan, pengampulan dan kemerosotan turapan. Elemen mineralogi juga merupakan satu daripada faktor yang mempengaruhi sifat permukaan turapan yang dihasilkan bergantung pada jenis agregat yang digunakan. Penggunaan jermang keluli amat berpotensi untuk digunakan sebagai bahan agregat kerana ciri-cirinya yang hampir sama dengan agregat konvensional granit.\nAgregat yang baik ditakrifkan sebagai agregat yang mempunyai saiz partikel dan penggredan yang betul, kuat dan tahan lasak. Agregat yang baik terdiri daripada agregat bersudut, permukaan agregat bersih dan permukaan agregat kasar. Permukaan agregat yang bersih merujuk keadaan agregat yang tidak terganggu dengan kehadiran debu (butiran halus) yang tidak diperlukan.\nKlasifikasi penggredan agregat dan julat keperluan saiz piawai agregat menentukan kekuatan dan ketahanan analisis mekanikal agregat untuk digunakan dalam kerja pembinaan dan penyelenggaraan pelbagai jenis turapan jalan. Dengan itu, keperluan ini menggambarkan perlunya penggredan saiz agregat untuk pelbagai julat antara agregat kasar dengan agregat halus disediakan mengikut penggunaannya seperti yang ditetapkan oleh piawaian.\nKehadiran debu pada permukaan bahan yang terkawal dan memenuhi keperluan piawaian membantu mengurangkan sifat rintangan terhadap haus pada permukaan bahan. Penggunaan bahan agregat kasar dan agregat halus atau gabungannya pada lapisan tapak jalan atau sub tapak akan dapat menyokong kestabilan dan kerintangan pembinaan turapan struktur jalan yang diperlukan.\nSementara itu, faktor tekstur bentuk, sudut dan permukaan agregat merupakan ciri penting yang mempengaruhi kestabilan, rintangan, saling kunci dan perpaluhan agregat. Semua ciri ini merupakan elemen asas yang menyumbang kepada keupayaan struktur dan kapasiti pembinaan turapan struktur jalan yang baik. Terdapat kemungkinan berlakunya keadaan seperti beberapa jenis kegagalan jalan jika permukaan turapan tidak mencapai keperluan yang dikehendaki. Perubahan sifat lapisan asas turapan agregat yang disebabkan oleh fenomena berlakunya interaksi antara lapisan permukaan, lapisan tapak asas dan lapisan subgred akibat pembebanan lalu lintas boleh memberikan kesan kepada berlakunya kegagalan keretakan lesu dan perpaluhan pada agregat.\nPermukaan campuran bahan yang bertekstur kasar dan halus dianggap saling melengkapi dari segi agihan penggredan yang pelbagai dan mempunyai potensi campuran yang baik dengan kehadiran sifat geseran dalaman yang menghasilkan ikatan mencukupi di antara bahan campuran. Tekstur permukaan memberikan kesan secara langsung kepada ketahanan permukaan turapan melalui impak tayar yang bertindak pada permukaan dan memberikan keselamatan kepada pemanduan, terutamanya pada pergerakan lalu lintas yang laju. Tekstur permukaan turapan juga bergantung pada bentuk dan penggredan agregat. Agregat jermang keluli yang mempunyai permukaan tekstur yang kasar dan partikel bersudut yang dimiliki oleh jermang keluli adalah lebih baik berbanding dengan keadaan partikel bulat agregat konvensional.\nPenggunaan jermang keluli yang telah meluas dalam pembinaan kejuruteraan sebagai bahan agregat dan asas bahan berbutir telah memungkinkan bahan ini untuk digunakan dalam kerja pembinaan turapan struktur jalan. Alasan utama yang menyebabkan penggunaannya yang masih berada dalam skala yang rendah adalah disebabkan oleh kurangnya maklumat dan bimbingan penggunaannya secara khusus.\nPenggunaan agregat jermang keluli merupakan sebahagian daripada penyelesaian isu pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dan sistem ekologi. Keadaan ini juga memberikan alternatif dan kepelbagaian kelebihan dalam membantu mengurangkan penggunaan guna tebus tanah, mengurangkan penggunaan tenaga dan melindungi alam sekitar daripada kemungkinan berlakunya kesan pencemaran. Di samping itu, penggunaan bahan kitar semula juga dapat menguranglan kebergantungan penggunaan bahan semula jadi yang tidak terkawal.\n\u00a0\nDr. Ahmad Yusri Mohamad adalah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Pahang.\nProf. Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff adalah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor." "Teknologi Moden Meningkatkan Produktiviti Hasil Pertanian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) telah menganjurkan Simposium Kejuruteraan Pertanian 2022 pada 5 Julai 2022 hingga 6 Julai 2022 di Dewan Raflesia, Hotel Palm Garden, Putrajaya. Simposium yang berlangsung selama dua hari tersebut bertemakan \u201cRevolusi Teknologi Kejuruteraan Pertanian ke Arah 4IR\u201d yang bertujuan untuk berkongsi kepakaran teknologi kejuruteraan pertanian selain membentuk jaringan strategik dengan pemain industri yang berkaitan.\nMenteri Pertanian dan Industri Makanan, YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee menyatakan bahawa selaras dengan teras utama Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), penerimagunaan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) melalui pemodenan dan pertanian pintar amat penting bagi meningkatkan produktiviti hasil pertanian dan seterusnya menjamin sekuriti makanan negara.\nPenggunaan teknologi moden seperti dron, sensor, robotik, Internet Benda (loT), dan Teknologi Pertanian Tepat menjadi elemen penting dalam kejuruteraan pertanian bagi meningkatkan produktiviti sistem makanan negara.\nMenurut beliau lagi, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengalu-alukan penyertaan syarikat pembekal teknologi untuk turut menyumbang kepakaran dalam usaha mentransformasikan industri agromakanan negara.\nKajian penyelidikan dan pembangunan teknologi dalam sektor agromakanan juga sedang giat dijalankan bukan sahaja oleh agensi kerajaan, malah melibatkan inisiatif daripada pihak swasta termasuklah pemain industri dan pembekal teknologi.\nSementara itu, Ketua Pengarah Pertanian, YBhg. Dato\u2019 Zahimi Hassan menyatakan bahawa DOA telah menjalinkan kerjasama strategik bersama-sama pihak swasta melalui Participatory Observation (PO) atau pemerhatian teknologi terpilih di lapangan bagi menentusahkan keberkesanan teknologi yang ditawarkan oleh penyedia teknologi sebelum dihebahkan kepada golongan sasar.\nDalam majlis yang sama, YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee juga telah melancarkan penerbitan buku Kompilasi Inovasi Bahagian Kejuruteraan Pertanian 2016\u20132020 yang mengumpulkan kesemua produk inovasi kejuruteraan pertanian dari tahun 2016 hingga tahun 2020 yang telah direka cipta oleh pegawai dan kakitangan DOA, khususnya daripada Bahagian Kejuruteraan Pertanian. Buku ini menyediakan maklumat keterangan ringkas berkenaan dengan projek inovasi, kelebihan produk, spesifikasi, dan kos inovasi yang telah dihasilkan pada tahun tersebut termasuklah berkaitan dengan jentera, mesin dan peralatan.\nTurut hadir dalam majlis perasmian itu ialah Ketua Setiausaha MAFI, YBhg. Dato\u2019 Haslina Abdul Hamid dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MAFI, Puan Azah Hanim Ahmad." "Awasi Pendedahan Skrin Berpanjangan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTeknologi digital merupakan penyimpanan, penjanaan atau pemprosesan data melalui penggunaan peranti elektronik. Terdapat pelbagai jenis peranti elektronik dengan sambungan Internet yang memudahkan komunikasi dan interaksi secara maya, terutamanya di platform media sosial. Beberapa jenis skrin peranti elektronik yang biasa digunakan dalam kehidupan seharian seperti telefon pintar, komputer tablet, komputer riba, televisyen, jam pintar dan papan iklan digital.\nKecanggihan skrin kini dapat dilihat pada fungsinya yang pelbagai, kandungan media yang bervariasi, kepelbagaian medium untuk mencari informasi dan sebagainya. Penggunaan skrin yang interaktif memberikan pengalaman yang menarik kepada pengguna seperti membolehkan komunikasi dengan individu lain seperti dalam permainan video. Saiz peranti digital yang semakin canggih juga memudahkan para pengguna untuk membawa peranti digital mereka ke mana-mana sahaja pada bila-bila masa.\nSebaik sahaja negara ini dilanda pandemik COVID-19, arahan sekatan pergerakan telah dijalankan. Kebanyakan individu terpaksa bekerja dari rumah, pelajar tidak dapat menghadiri sesi persekolahan, taman permainan menjadi sunyi sepi, jalan raya menjadi lengang dan terdapat juga sebilangan rakyat Malaysia yang terkandas di negara jiran. Hal ini menjadikan orang ramai lebih bergantung pada peranti digital yang mempunyai pelbagai fungsi, terutamanya sebagai medium pembelajaran, membeli-belah, melaksanakan pelbagai jenis kerja, mengadakan perbincangan, sumber hiburan dan bersosial secara dalam talian. Menurut Tinjauan Pengguna Internet oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pengguna Internet di Malaysia telah bertambah daripada 84.7 peratus pada tahun 2018 kepada 88.7 peratus pada tahun 2020. Pandemik COVID-19 juga telah mengukuhkan lagi platform digital sebagai satu-satunya cara untuk orang ramai mengekalkan hubungan sosioemosi.\nOleh sebab wujudnya pelbagai jenis skrin dan masa penggunaannya yang semakin panjang, konsep screenome telah pun dilahirkan. Screenome merupakan rekod pengalaman seseorang individu yang diwakili sebagai turutan skrin yang dilihat dan interaksi antara skrin dengan orang ramai dari semasa ke semasa. Konsep ini membentuk kehidupan psikologi dan sosial seseorang terhadap peranti digital. Screenome juga mempunyai kaitan dengan pelbagai aspek kehidupan seseorang, termasuklah kesihatan. Masa skrin pula merujuk tempoh penggunaan skrin dan kepelbagaian aktiviti yang dilakukan menggunakan peranti digital, sama ada untuk melakukan tugasan kerja atau digunakan semasa waktu lapang sebagai hiburan. Kategori pengguna skrin terbahagi kepada tiga, iaitu ringan, sederhana dan berat.\nAntara aktiviti dalam talian yang biasa dilakukan oleh rakyat Malaysia menurut Laporan Survei Penggunaan dan Capaian ICT pada tahun 2021 merupakan aktiviti media sosial (99 peratus), memuat turun gambar, video, filem, muzik dan permainan video (91.8 peratus) dan mencari informasi (89.4 peratus). Bagi tujuan komunikasi, perisian Whatsapp merupakan aplikasi yang paling biasa digunakan (98.7 peratus), diikuti oleh Facebook Messenger (53.9 peratus) dan Telegram (40.1 peratus). Selain itu, bagi aplikasi media sosial pula, pengunaan yang tertinggi ialah Facebook (91.7 peratus), Youtube (80.6 peratus) dan Instagram (63.1 peratus).\nSeiring dengan kemajuan teknologi, masa penggunaan skrin yang berlebihan telah menyebabkan kebimbangan yang serius. Situasi ini telah pun menggesa para penyelidik untuk membangunkan sebuah perisian yang dipanggil sebagai Screenomics untuk menyimpan data untuk digunakan dalam kajian kesan penggunaan skrin yang berlebihan terhadap kehidupan manusia. Perisian ini merekod, menyulitkan dan menghantar tangkapan skrin secara automatik tanpa mengganggu pengguna pada setiap lima saat setelah skrin dihidupkan. Sekiranya pengguna skrin menggunakan beberapa peranti digital dalam satu masa, tangkapan skrin akan diambil pada waktu yang sama setelah skrin dihidupkan. Sebagai hasilnya, penyelidik telah mengumpul lebih daripada 30 juta tangkapan skrin ataupun screenome yang diperoleh daripada lebih daripada 600 individu.\nMenurut kajian, penggunaan skrin yang berlebihan dikatakan memberikan impak yang besar kepada kesihatan fizikal dan mental seseorang individu. Masa skrin yang berlebihan sering dikaitkan dengan masalah obesiti dan kelesuan. Penggunaan skrin dalam kehidupan seharian menyebabkan pergerakan fizikal manusia menjadi terhad, lalu menyebabkan proses pembakaran lemak di dalam badan tidak dapat berlaku. Hal ini menjadikan seseorang itu lebih terdedah dengan risiko obesiti. Obesiti turut menyebabkan masalah kesihatan lain seperti penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.\nSelain itu, penggunaan skrin yang berlebihan juga mampu menjejaskan kesihatan mental seperti masalah psikologi, emosi yang kurang stabil, kemurungan dan kerisauan. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan individu mudah berasa tertekan dan berlumba-lumba apabila terdedah dengan aktiviti media sosial yang berlebihan. Kebanyakan individu, terutamanya golongan remaja gemar untuk membandingkan kehidupan mereka dengan kehidupan orang lain yang ditonjolkan melalui media sosial. Hal ini menyebabkan mereka berasa tewas dengan kehidupan masing-masing jika dibandingkan dengan kehidupan orang lain yang jauh lebih baik.\nKajian melaporkan bahawa kanak-kanak dan remaja kurang melakukan aktiviti fizikal dan aktiviti di luar rumah serta mengamalkan gaya hidup kurang aktif sejak pandemik melanda. Hal ini menunjukkan bahawa mereka lebih banyak mengisi waktu lapang dengan menggunakan skrin atau tidur dengan lebih banyak. Selain itu, mereka juga mudah berasa jengkel apabila menghadapi masalah kelajuan Internet yang tidak memuaskan dan lebih sukar untuk fokus akan sesuatu perkara. Penggunaan skrin sebelum waktu tidur akan menyebabkan seseorang individu lebih sukar untuk tidur.\nSementara itu, pendedahan skrin yang terlalu awal kepada bayi dan kanak-kanak boleh menyebabkan proses perkembangan otak kanak-kanak menjadi terbantut dan mengakibatkan masalah lambat bertutur, kemahiran motor yang perlahan seperti lambat berjalan dan sebagainya. Selain itu, kanak-kanak yang diberikan pendedahan skrin digital sejak awal usia dikatakan mempunyai masalah tingkah laku seperti masalah hiperaktif dan kesukaran kawalan emosi. Peranti digital juga memberikan kepuasan segera dan melambatkan fungsi minda eksekutif.\nUntuk mengehadkan pendedahan skrin kepada kanak-kanak, American Academy of Pediatrics and National Association for the Education of Young Children menyarankan penggunaan skrin adalah tidak melebihi tempoh satu jam sehari bagi kanak-kanak yang berusia dua tahun hingga empat tahun, manakala penggunaan bagi kanak-kanak berusia kurang daripada dua tahun adalah tidak digalakkan. Kandungan media yang dilanggan oleh kanak-kanak juga perlu dipantau bagi menjamin kualiti penggunaan masa skrin mereka.\nSecara keseluruhannya, teknologi digital boleh memberikan manfaat kepada setiap individu sekiranya digunakan secara optimum. Hal ini amat penting kerana dunia pada masa ini berada dalam abad ke-21 yang sedang berkembang pesat berikutan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dalam Revolusi Perindustrian Keempat. Kesedaran dalam masyarakat mengenai amalan penggunaan skrin yang sihat juga perlulah diterapkan supaya kesejahteraan digital untuk setiap individu adalah terjamin.\n\u00a0\n\u00a0\nNur Farisha Irwayu Kadir dan Goh Ying Xian ialah pembantu penyelidik di Institut Biologi Molekul Perubatan (UMBI), Universiti Kebangsaan Malaysia.\u00c2" "Keupayaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kedua ASEAN\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2212 Saranan YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN telah menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat. Ada juga segelintir masyarakat yang beranggapan bahawa pemilihan bahasa Melayu itu akan meminggirkan bahasa Inggeris. Tanggapan ini kurang tepat kerana penggunaan bahasa Melayu tidak menjejaskan penguasaan terhadap bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa. Hal ini demikian kerana penggunaan bahasa Melayu dilihat sebagai satu pengukuhan terhadap fungsinya sebagai lingua franca di negara ASEAN.\nMenurut Profesor Madya Dr. Shahidi A. Hamid, pensyarah di Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, saranan YAB Perdana Menteri Malaysia tersebut sangat baik dan wajar disokong. Pelbagai senario yang wujud akibat saranan ini tidak harus terjadi sekiranya masyarakat menelusuri kembali fakta sejarah kewujudan bahasa Melayu di rantau Asia Tenggara.\nKedudukan bahasa Melayu sebagai lingua franca telah lama wujud sebelum era imperialisme Barat di wilayah Nusantara. Seawal abad ke-7 Masihi lagi, bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi, bahasa perdagangan, bahasa perundangan, bahasa persuratan dan bahasa hubungan antarabangsa bagi kerajaan lama yang wujud di Nusantara. Antaranya termasuklah Kerajaan Sriwijaya, Kerajaan Bentan\u2212Temasik, Kerajaan Riau, dan Kerajaan Melaka. Jatuh bangun pusat-pusat pemerintahan ini tidak langsung memudarkan keberadaan bahasa Melayu di rantau ini. Sesuai dengan sifatnya yang dinamik dan praktis, bahasa Melayu terus perkasa menerusi penyesuaian setempat dan seiring dengan perkembangan zaman dan pemodenan negara penuturnya.\n\u00a0\nMenurut beliau, dengan melihat sejarah penggunaan bahasa Melayu yang meluas pada suatu ketika dahulu membuktikan bahawa bahasa ini sebuah bahasa yang unggul dan kukuh penguasaannya. Oleh yang demikian, penggunaan bahasa Melayu juga mampu mempertingkatkan sinergi negara-negara ASEAN demi kesepakatan serantau dan masyarakat ASEAN.\n\u00a0\nTambah beliau, sejarah telah menunjukkan bahasa Melayu tersebar luas di luar Nusantara pada zaman kegemilangan kerajaan Melayu Nusantara kerana keunikan dan keindahan bahasanya yang mudah untuk dituturkan dan difahami. Sehubungan dengan itu, pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN tepat pada masanya kerana bahasa ini mewakili wilayah penutur Melayu yang luas dengan pensejarahan yang kukuh.\nDalam pada itu, pemerkasaan bahasa Melayu dalam kalangan penduduk yang berbilang kaum di Malaysia juga perlu diperkukuh dalam setiap aspek kehidupan rakyat agar kita yang mencadangkan penggunaannya di luar Malaysia menjadi contoh terbaik kepada negara-negara ASEAN yang lain. Pemupukan rasa cinta terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat dalam segenap aspek kehidupan perlu wujud sebagai jati diri bangsa.\nMalaysia perlu bangkit untuk menjadi contoh terbaik sebagai pengguna bahasa Melayu bagi memastikan hasrat memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN tercapai. Selain itu, masyarakat penutur bahasa Melayu di rantau ini juga perlu bersama-sama memartabatkan penggunaan bahasa ini dalam setiap aspek kehidupan tanpa melihat perbezaan." "Masyarakat Berisiko Dijangkiti HIV Diseru Lakukan Pemeriksaan Segera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKaki Bukit \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru anggota masyarakat yang mempunyai risiko jangkitan HIV (virus imunodefisiensi manusia) untuk segera membuat pemeriksaan darah, mendapat rawatan jika positif serta berusaha mengurangkan cara hidup yang berisiko tinggi.\nRaja Muda Perlis bertitah sedemikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan program Kayuhan Berbasikal Amal \u2018MAIPs Peduli\u2019 Bilangan Ke-50 bagi Tahun 2022 di sekitar kawasan Kaki Bukit baru-baru ini. Turut mengiringi baginda dalam kayuhan amal ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.\nMenerusi program tersebut, baginda berkenan singgah menyantuni tiga buah rumah asnaf terpilih milik Rohini Yaacob, Embun Ramli dan Mazira Mat Ali bagi menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berupa wang tunai RM700, sekampit beras fidyah dan sekotak bahan makanan mentah kepada setiap seorang antara mereka.\n\n\n\nSementara itu, Dr. Sirajuddin Hashim, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis menjelaskan bahawa antara golongan yang berisiko tinggi dijangkiti HIV ialah mereka yang terlibat dengan aktiviti seks sesama jenis, seks dengan pelbagai pasangan dan berkongsi jarum disebabkan oleh penagihan dadah. Berdasarkan statistik, punca utama jangkitan HIV di negeri Perlis adalah disebabkan hubungan seks sesama jenis atau homoseksual/biseksual (69%), heteroseksual (25%) dan perkongsian jarum suntikan (6%).\nTambah beliau lagi, jumlah kes HIV di Perlis ialah 4.49 bagi setiap 100 000 penduduk manakala kes sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS) pula ialah 4.11 bagi setiap 100 000 penduduk.\nJelas Dr. Sirajuddin, \u201cKadar rawatan HIV ialah 83 peratus yang telah diberikan ubat antiretroviral. Tidak ada jangkitan daripada ibu positif HIV kepada anak, yakni ada lima kes ibu positif, satu telah lahir dan keputusannya, anak ialah negatif\u201c." "Adakah Kepelbagaian Jenis Telur Hanya Sekadar Strategi Pemasaran?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTelur merupakan antara sumber protein utama rakyat Malaysia selain daging ayam. Pada kebiasaannya, masyarakat menjadikan telur goreng sebagai pelengkap rasa dalam pelbagai jenis masakan dan hidangan. Namun demikian, kebanyakan orang tidak mengetahui bahawa telur yang dijual dalam pasaran merupakan telur tanpa benih daripada ayam baka penelur. Telur ini tidak akan menetas walaupun telah dieram selama lebih daripada 21 hari.\nAyam penelur bertelur tanpa kehadiran ayam jantan. Ayam penelur hanya terdiri daripada ayam betina sahaja. Kitaran ovulasi untuk ayam penelur bermula pada seawal usia 16 minggu hingga 18 minggu. Ayam menghasilkan telur antara selang 23 jam hingga 26 jam bagi setiap satu kitaran. Apabila disokong dengan keperluan cahaya dan nutrisi yang mencukupi, ayam akan menghasilkan telur pada hampir setiap hari sebagai kitaran normal.\nBagi telur yang mempunyai benih seperti telur ayam kampung, telur ini boleh dimakan dalam masa tiga hari pertama sebelum proses pembentukan organ terjadi. Hal ini dikatakan demikian kerana selepas hari ketiga, jantung akan mula berfungsi dan banyak salur darah mula dihasilkan. Di sesetengah negara seperti Filipina, terdapat golongan masyarakat mengamalkan memakan telur yang mempunyai janin yang hampir sempurna dan digelar sebagai telur balut. Amalan ini merupakan tradisi dan dipercayai telur tersebut mempunyai khasiat tertentu, khususnya untuk kesihatan badan.\nBagaimanakah membezakan telur yang mempunyai benih?\nTerdapat dua kaedah untuk mengenal pasti telur yang mempunyai benih. Cara pertama adalah dengan memecahkan telur ini di dalam mangkuk dan perhatikan tompok putih kecil di telur kuning. Jika terdapat satu tompok putih kecil dengan satu lingkaran putih mengelilinginya, telur ini merupakan telur yang mempunyai janin aktif. Tompok putih seperti bull\u2019s eye ini dihasilkan oleh blastoderma. Blastoderma merupakan lapisan epitelium pada embrio. Telur yang tidak mempunyai janin juga mempunyai tompok putih kecil, tetapi hanya tompok putih dan tidak dikelilingi oleh bulatan putih yang lain dan digelar sebagai blastodisk. \nSelain itu, telur dengan janin juga boleh dikesan melalui keadah pencahayaan. Telur ini boleh dibawa ke dalam bilik yang gelap dan lampu suluh digunakan untuk menerangi telur daripada bahagian bawah bagi melihat salur darah di dalam telur. Jika terdapat banyak salur darah, telur ini merupakan telur yang mempunyai benih. Jika hanya kosong dan tidak terdapat sebarang salur darah, hal ini bermakna telur tersebut tidak mempunyai benih atau telur yang baru sahaja dihasilkan kurang daripada sehari.\nKebanyakan telur yang dijual di pasar raya dilekatkan dengan label tarikh luput atau label tarikh telur dihasilkan. Telur segar mampu bertahan kesegarannya dalam tempoh seminggu, dan menjangkau tiga minggu hingga lima minggu jika disimpan di dalam peti sejuk. Telur tidak perlu dibasuh sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk. Apabila telur dibasuh, kutikel pada kulit telur akan terbuang, maka rongga kulit telur akan terbuka dan berisiko dijangkiti atau ditembusi bakteria yang menyebabkan telur rosak dan membusuk dengan cepat.\nApabila telur telah mencapai tarikh luput, telur tersebut tidak digalakkan untuk dimakan bagi mengelakkan risiko jangkitan bakteria jenis Salmonela dan bakteria daripada kumpulan koliform. Oleh sebab itu, adalah disyorkan untuk memakan telur segar dalam masa seminggu bagi mengurangkan risiko jangkitan bakteria di dalam telur.\nTelur segar jika dipecahkan ke dalam mangkuk, putih telurnya kelihatan kental, jernih dan tidak berair. Jika sebaliknya berlaku, telur itu tidak lagi segar. Selain itu, kaedah untuk menguji kesegaran telur adalah dengan melakukan ujian apungan di dalam air. Telur yang tenggelam di bahagian dasar dan tidak terapung merupakan telur segar kerana telur tersebut mempunyai ruang udara yang minimum dan lebih kompak. Sebaliknya, telur yang terapung ialah telur lama dan mempunyai banyak ruang udara di dalam telur tersebut.\u00c2\u00a0\nBagaimanakah penghasilan telur berlaku?\nSetelah oosit (telur kuning) dibebaskan daripada organ pembiakan ayam betina, telur kuning ini akan melalui saluran oviduktus (peranakan). Telur kuning ini disaluti dengan protin albumin (putih telur) dan bertindak sebagai agen perlindungan kepada telur kuning daripada hentakan dan tekanan. Setelah selesai proses penyalutan, telur ini akan terus bergerak ke organ atau kelenjar menghasilkan kulit telur. Kulit telur ini diperbuat daripada kalsit. Kalsit dalam bahasa mudah ialah kalsium karbonat yang akan menghasilkan kulit telur yang kuat serta berwarna putih. Warna kulit telur ayam dalam pasaran Malaysia berwarna coklat, manakala di negara barat, kulit telur berwarna putih.\nSelepas disaluti dengan kulit telur dan mengeras, telur ini akan dibebaskan melalui saluran (bolong) ayam. Secara umumnya, seekor ayam penelur mampu menghasilkan enam biji telur dalam masa seminggu dengan purata penghasilan sebiji telur pada setiap hari. Jika terdapat lapan ribu ekor ayam dalam sesuatu ladang, sebanyak tujuh ribu biji telur dan ke atas mampu dihasilkan dalam tempoh sehari. Waktu puncak penghasilan telur adalah pada minggu ke-21 hingga minggu ke-25.\nMengapakah telur ayam di Malaysia berwarna coklat?\nWarna kulit telur ayam sebenarnya dipengaruhi oleh genetik atau baka ayam penelur itu sendiri. Di Malaysia, baka ayam penelur kebanyakannya daripada baka Hisex, Lohmann, ISA Brown, ISA Warren, H & N Brown Nick, dan Hyline. Ayam daripada semua baka ini menghasilkan telur yang berwarna coklat.\nNegara Eropah seperti England menggunakan baka ayam penelur daripada baka Sussex dan White Leghorn untuk menghasilkan kulit telur berwarna putih. Terdapat juga telur berwarna biru dan hijau kebiruan yang dihasilkan oleh baka Araucana, Ameraucana, Dongxiang, dan Lushi. \nWarna kulit telur berlainan antara satu sama lain kerana baka ayam yang berbeza akan menghasilkan warna pigmen yang berbeza. Sebagai contohnya, kulit telur berwarna coklat dihasilkan oleh pigmen bernama protoporfirin IX yang dihasilkan daripada protein heme (komponen yang bertanggungjawab memberikan warna merah untuk sel darah merah). Kulit telur berwarna biru pula diperbuat daripada pigmen bernama biliverdin, yang juga dihasilkan oleh protien darah heme yang menghasilkan warna biru, pigmen yang sama terdapat pada lebam yang berwarna hijau kebiruan. Oleh hal yang demikian, perbezaan warna pigmen dikeluarkan oleh baka berlainan mempengaruhi warna telur.\nBiarpun berbeza warna dan rupa, telur yang dihasilkan ini tidak mempunyai perbezaan kandungan nutrisi. Pendek kata, warna telur tidak mencerminkan khasiat telur itu sendiri. Jika dilihat pada telur yang terdapat di pasar raya, terdapat pelbagai jenis telur yang dilabelkan dengan nama seperti telur organik, telur dipasteur, telur dengan omega-3,6, dan pelbagai nama komersial lain.\nTelur organik dihasilkan daripada baka atau induk yang tidak diberikan hormon atau antibiotik dan diberikan makanan atau dedak yang diperbuat daripada sumber tumbuhan yang bukan organisma yang diubah suai genetik (GMO). Dedak ini dihasilkan oleh tumbuh-tumbuhan semula jadi tanpa diubah secara genetik di dalam makmal. Namun begitu, hingga kini, tidak dapat dibuktikan jika telur organik adalah lebih berkhasiat berbanding dengan telur biasa.\nPerbezaan antara telur organik ini dengan telur ayam adalah dari segi keselamatan pengguna. Telur organik tidak akan mempunyai sebarang sisa antibiotik atau ubat-ubatan di dalam telur. Walau bagaimanapun, telur ayam biasa dalam pasaran tempatan masih lagi selamat dimakan tanpa sisa ubat-ubatan mahupun antibiotik. Hal ini disebabkan oleh pemantauan ketat dan berkala oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang akan mengambil sampel telur ini untuk dianalisis di makmal bagi memastikan tiada sisa terlarang yang boleh menyebabkan ketahanan antibiotik kepada badan manusia.\nKetahanan antibiotik terjadi akibat pengambilan daging haiwan ternakan yang mengandungi ubat-ubatan merupakan kerisauan pakar di seluruh dunia. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila ketahanan antibiotik berlaku, antibiotik sedia ada sudah tidak lagi berkesan dalam menangani penyakit bawaan bakteria dan memerlukan doktor untuk memberikan preskipsi antibiotik yang lebih kuat. Jika ketahanan mikrob terus berleluasa, dikhuatiri tiada lagi antibiotik yang berkesan untuk digunakan pada masa hadapan.\nPenggunaan perkataan organik juga sering disalah guna untuk tujuan pemasaran kerana pada hakikatnya, penggunaan hormon dalam ternakan telah lama dihentikan dan diharamkan di Malaysia. Untuk telur yang dipasteur, telur ini merupakan telur yang telah dirawat dengan menggunakan ozon dan bahan oksigen reaktif dan dituruti dengan penggunaan gas nitrogen di bahagian kulit telur untuk proses nyah kuman. Terdapat pelbagai cara telur dipasteur dan kaedah pasteur menggunakan suhu merupakan cara yang paling banyak digunakan.\nMengikut United States Department of Agriculture, telur yang telah dipasteur adalah lebih selamat untuk dimakan tanpa dimasak atau dengan masakan separuh masak kerana proses ini telah menyingkirkan bakteria penyebab keracunan makanan dan cirit-birit seperti bakteria spesies Salmonela dan Escherichia coli. Walau bagaimanapun, hal ini tidak bermakna telur biasa yang tidak dipasteur adalah tidak selamat dimakan, namun orang ramai hanya tidak digalakkan pengambilannya secara mentah. \nUntuk telur yang diperkaya dengan asid lemak omega-3, ayam penelur ini akan diberikan diet yang kaya dengan omega-3. Maka itu, telur yang dihasilkan akan mempunyai asid lemak omega-3 yang lebih tinggi daripada telur ayam yang normal. Kajian membuktikan bahawa pengambilan makanan yang kaya dengan omega-3 mampu mengurangkan lemak trigliserida dalam salur darah dan mampu menurunkan kadar kolesterol dalam darah secara berkesan.\nTelur biasa dalam pasaran masih mempunyai kandungan omega-3, iaitu kira-kira 69 miligram, tetapi sedikit rendah daripada telur yang diperkaya dengan omega-3 (150 miligram). Dari sudut omega-6 pula, kandungan yang sama dilihat pada semua jenis telur dalam pasaran. Kesemua jenis telur mempunyai kandungan protien, lemak serta mineral yang sama tanpa perbezaan yang ketara. Jelaslah di sini bahawa tiada perbezaan dari segi nutritisi penting di dalam telur ayam.\nSecara tuntasnya, telur yang dijual dalam pasaran tidak mempunyai janin seperti dakwaan sesetengah pihak mengenai telur ayam yang dibeli dalam pasaran mampu menetas. Berbeza dengan telur ayam kampung, ayam ini boleh mengawan dengan ayam jantan yang lain dan berupaya menghasilkan telur ayam yang mempunyai benih dan boleh ditetaskan. Oleh sebab itu, sebaik-baiknya, telur ayam kampung perlu dipecahkan terlebih dahulu sebelum dimasak kerana dikhuatiri sudah terjadinya pembentukan awal janin.\nMenjawab kepada persoalan, adakah kepelbagaian nama telur hanya sekadar kaedah pemasaran? Penulis secara peribadi bersetuju dengan kenyataan ini. Hal ini merupakan satu daripada kaedah pemasaran untuk menambah nilai produk dan membezakannya antara produk yang lain. Namun begitu, isu ini bukanlah suatu gimik kerana hal ini dapat dibuktikan secara saintifik akan kandungan nutrisi yang sedikit berbeza mengikut nama yang dikomersialkan.\nWalaupun telur mempunyai warna dan nama pemasaran yang berbeza, keadaan tersebut tidak mengganggu atau mempengaruhi kandungan nutrisi telur yang penting seperti sumber protein yang baik, sihat dan berkhasiat apabila diambil secara terkawal dan dimasak dengan kaedah yang sihat." "Petrosains RBTX Challenge 2022 Memupuk Bakat dalam Bidang Robotik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Petrosains RBTX Challenge 2022 dijangka dapat menarik penyertaan sebanyak 10 ribu orang pelajar yang membolehkan mereka berkongsi minat dalam bidang sains dan teknologi melalui elemen penciptaan, khususnya dalam bidang robotik.\nMenurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba, penganjuran program oleh Petrosains ini adalah selaras dengan visi Kementerian Sains, Teknologi dan inovasi (MOSTI) untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.\n\u00a0\nProgram Petrosains RBTX Challenge 2022 ini juga sejajar dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 (DSTIN) dalam memacu Malaysia ke arah sebuah negara yang lebih berdaya saing melalui sains, teknologi dan inovasi (STI) yang kukuh.\nTambahnya lagi, program ini dapat meningkatkan minat dan tumpuan para pelajar terhadap mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sekali gus memupuk sifat ingin tahu dengan menggunakan pendekatan secara guna tangan (hands-on) menerusi aktiviti yang menyeronokkan serta dapat meningkatkan kompetensi dan kreativiti melalui aktiviti yang dijalankan secara amali.\nKetua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn. Bhd., Encik Ezarisma Azni Mohamad berkata Pertandingan Petrosains RBTX Challenge 2022 menjadi lebih signifikan pada tahun ini kerana penganjurannya seiring dengan usaha kerajaan untuk memperkasa penguasaan teknologi baharu dan memacu pendigitalan seperti yang digariskan di bawah Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (4IR).\n\u201cPetrosains akan terus berusaha untuk memberi inspirasi kepada pembelajaran STEM dan menjadi pemangkin untuk memupuk inovasi dan ciptaan ke arah membina dunia yang lebih mampan untuk semua,\u201d katanya lagi.\nPertandingan yang mula diperkenalkan pada tahun 2018 ini turut mendapat sokongan daripada MOSTI dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama PETRONAS Dagangan Berhad (PDB), Malaysia Research Accelerator for Technoly and Innovation (MRANTI), MyDigital Corporation, UBTech dan Microsoft Malaysia.\nSejak diperkenalkan, Petrosains RBTX Challenge telah mendapat sambutan positif dan memberangsangkan dengan penyertaan daripada lebih 800 buah sekolah di seluruh negara. Pada tahun ini, pertandingan ini dibuka bermula dari 18 April hingga 31 Julai 2022 untuk tiga kategori, iaitu Robo Tracer, Robo Sumo dan Innovation.\nJuara Petrosains RBTX Challenge akan memenangi hadiah wang tunai bernilai lebih daripada RM40 000 serta e-sijil daripada pihak Petrosains. Untuk maklumat lebih lanjut berkaitan pertandingan ini, sila layari www.petrosains.com.my/rbtx-challenge." "Bagaimanakah Malaysia Harus Menghadapi Krisis Makanan?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMakanan merupakan keperluan asas terpenting dalam kehidupan manusia selain air, udara dan tempat tinggal. Jika tiada sumber makanan, manusia akan mengalami kebuluran dan pelbagai kemudaratan sehingga boleh menyebabkan kematian. Manusia pada zaman dahulu memperoleh makanan dengan cara memburu haiwan dan mengutip hasil tumbuh-tumbuhan yang berada di sekitar mereka.\nSeiring dengan perkembangan tamadun, sains dan teknologi, manusia mula bercucuk tanam dan membela haiwan ternakan bagi menjamin kebolehdapatan sumber makanan yang mencukupi secara berterusan. Apabila terjadinya bencana alam seperti kemarau yang berpanjangan dan banjir besar serta berlakunya peperangan, maka kesedaran akan kepentingan untuk memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi mulai tercetus. Kesedaran ini menjadi titik permulaan dalam keselamatan makanan bagi memastikan krisis makanan dapat dielakkan.\nPada masa ini, topik mengenai krisis makanan menjadi perbualan dan perbincangan hangat di akhbar dan media sosial, sama ada melalui paparan media tempatan mahupun antarabangsa. Namun begitu, apakah faktor yang menyebabkan krisis ini berlaku? Adakah pemimpin dan masyarakat cakna akan perkara yang bakal dihadapi sekiranya krisis makanan ini tidak diambil perhatian serius? Apakah perancangan, persediaan dan tindakan yang perlu diambil oleh kerajaan khususnya dan masyarakat amnya untuk bersiap siaga dalam menghadapi isu ni?\nBerdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, krisis bermaksud keadaan tidak stabil atau tidak tenteram yang boleh berlaku secara tiba-tiba dan menyebabkan sesuatu perubahan atau keadaan yang lazimnya mendatangkan kesan buruk. Krisis makanan boleh diertikan sebagai keadaan yang merujuk ketidakstabilan atau kekurangan sumber makanan berlaku dalam sesebuah negara bagi memenuhi keperluan makanan rakyatnya. Di Malaysia, komoditi makanan yang sangat penting merupakan makanan ruji rakyat di negara ini seperti beras, minyak, ayam dan tepung gandum. Sekiranya sumber bekalan bagi makanan tersebut terjejas, maka krisis makanan boleh berlaku di negara ini. Oleh sebab itu, pihak bertanggungjawab memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan bekalan makanan tidak terjejas dan sentiasa mencukupi.\nAntara faktor terbesar yang menyumbang kepada krisis makanan pada masa ini adalah konflik peperangan yang terjadi di antara Rusia dengan Ukraine. Artikel Food Security Update oleh The World Bank mengatakan bahawa peperangan yang terjadi telah menyebabkan perubahan ketara dalam pengeluaran, perdagangan dan penggunaan komoditi makanan yang akan menyebabkan harga makanan dijangka naik sehingga penghujung tahun 2024, justeru memburukkan lagi kadar inflasi dan keselamatan makanan sedunia. Menurut artikel itu lagi, komoditi makanan yang paling terkesan adalah kekurangan bekalan gandum dan jagung di samping kenaikan harga minyak makan dan baja. Harga bekalan baja yang tinggi juga bakal mempengaruhi pengeluaran makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan kerana Rusia merupakan antara negara pengeluar baja utama dunia.\nAntara penyebab krisis makanan lain adalah seperti perubahan iklim dan bencana alam seperti kemarau yang melampau, kekurangan air dan banjir. Menurut artikel How Climate Change Increases Hunger \u2013 and Why We\u2019re All at Risk, 10 negara yang disenaraikan sebagai negara yang terlapar di dunia adalah terdiri daripada negara yang bergantung pada pertanian sebagai industri utama. Hal ini bermaksud setiap keluarga di negara tersebut hanya makan makanan yang telah dituai secara bermusim. Masa di antara tuaian tersebut dikenali sebagai musim berlapar apabila semua makanan yang dituai telah habis dimakan. Keadaan ini diburukkan lagi jika hasil tuaian tidak boleh dikutip akibat bencana alam yang menyebabkan tanaman dan haiwan ternakan mati.\nKetidakstabilan ekonomi juga boleh menyebabkan kekurangan makanan. Baru-baru ini, Sri Lanka telah diisytiharkan muflis oleh Bank Dunia dan hal tersebut telah menyebabkan sebanyak 6.26 juta penduduknya terkesan dan bakal menghadapi krisis makanan. Jika diteliti akan beberapa faktor besar tersebut, nampaknya Malaysia seperti tidak terkesan dengan kemungkinan akan berlakunya krisis makanan di negara kita. Namun begitu, adakah tanggapan begitu benar? Adakah Malaysia kebal dengan krisis makanan sedunia?\nBerdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara, Malaysia menggunakan dana sehingga 55.4 bilion hanya untuk mengimport makanan pada tahun 2020. Jumlah ini adalah 60 peratus daripada jumlah keperluan makanan di seluruh negara. Antara bahan makanan yang paling banyak diimport ke Malaysia adalah seperti daging kambing (RM879.4 juta), mangga (RM87.9 juta), kelapa (RM266.1 juta) dan daging lembu (RM2.2 bilion). Data ini menunjukkan bahan makanan ini mempunyai permintaan yang tinggi di dalam negara, tetapi bekalan dalam negara tidak mampu menampung jumlah permintaan tersebut.\nStatistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2019 menunjukkan Malaysia hanya menghasilkan sebanyak 46 peratus sayur-sayuran, 70 peratus beras, 61 peratus buah-buahan, 25 peratus daging dan 11 peratus daging kambing untuk keperluan negara. Menurut pakar ekonomi daripada Malaysia Universiti Of Science and Technology, Geoffrey Williams, beliau meramalkan bahawa Malaysia mungkin akan menghadapi krisis makanan jika negara ini tidak mempunyai strategi yang tuntas dalam menghadapi isu krisis makanan dunia. Apakah yang bakal berlaku jika krisis makanan berlaku?\nKesan krisis makanan yang paling jelas adalah kenaikan harga barangan kerana permintaan sesuatu bahan makanan adalah melebihi daripada pengeluaran. Kenaikan harga ayam dan minyak telah dirasai oleh penduduk Malaysia. Kenaikan harga barang menyebabkan sesebuah keluarga, terutamanya golongan B40 dan M40 mengehadkan perbelanjaan untuk makanan. Jika perkara ini berlaku secara berterusan dan tidak dibendung, kemungkinan kanak-kanak dalam sesuatu keluarga akan mengalami kekurangan nutrisi kerana akses kepada makanan sihat tidak mampu dicapai. Golongan fakir yang mempunyai pendapatan yang terhad juga akan menerima kesan yang teruk akibat kenaikan harga barang. Golongan ini mungkin akan mengehadkan pengambilan hidangan makanan daripada tiga kali sehari kepada satu atau dua kali sahaja dalam sehari dan hal ini menyebabkan risiko berlakunya kelaparan dan boleh mendatangkan penyakit akibat kekurangan makanan seperti kwasyiorkor dan malnutrisi.\nMalaysia mempunyai tanah yang subur dan kaya dengan hasil tanam-tanaman. Namun begitu, tidakkah kita terfikir, mengapakah negara masih lagi bergantung pada bahan makanan dari luar? Adakah mustahil untuk Malaysia menghasilkan buah mangga yang setaraf dengan kualiti luar negara? Adakah kelapa negara ini tidak mencukupi sehinggakan terdapat keperluan untuk mengimport kelapa dari luar negara, sedangkan Malaysia mempunyai pesisir pantai yang cukup panjang untuk penanaman kondusif kelapa? Negara ini juga mempunyai tanah, rumput dan keadaan cuaca yang baik untuk penternakan lembu, tetapi kita masih lagi mengimport daging daripada luar. Yang pasti, kemungkinan besar rakyat negara ini tidak memandang pertanian dan penternakan sebagai kerjaya utama kerana kurangnya pendedahan dan galakan daripada kerajaan dan masyarakat setempat.\nSehubungan dengan itu, bagaimanakah kita sebagai individu boleh berperanan dalam mengurangkan kesan krisis makanan ini? Adakah kita hanya perlu berserah kepada pihak berkuasa sahaja untuk mengambil tindakan? Perkara paling penting dalam hal ini adalah para penggubal dasar perlu memainkan peranan secara agresif bagi memastikan krisis makanan ini ditangani secara efisien. Pihak yang terlibat perlu meneliti setiap masalah yang menghalang sektor pertanian daripada terus berkembang pesat di negara ini.\nMenurut pengamal ekonomi, antara masalah utama yang dikesan dalam isu ini ialah sekatan dan peraturan permit import yang lemah. Sistem monopoli, terutamanya bagi komoditi gula dan beras telah berakar umbi di negara ini sejak sekian lamanya. Sebagai contohnya, jika sistem monopoli boleh dihapuskan, hal ini akan mewujudkan persaingan sihat bagi memperbanyak penghasilan beras dengan kualiti yang tinggi dengan harga yang kompetitif.\nSelain itu, pihak berwajib juga perlu memperkasa bekalan domestik dengan menggalakkan pertanian dan penternakan dijadikan sebagai kerjaya oleh golongan belia di negara ini. Dengan adanya kempen kesedaran, insentif dan panduan yang berterusan daripada kerajaan atau kolaborasi dengan syarikat besar, penulis yakin sektor perladangan dan penternakan bakal menjadi satu daripada bidang yang diminati oleh orang ramai dan mampu memberikan hasil yang lumayan kepada negara. Hal ini juga secara tidak langsung mampu meningkatkan bekalan domestik di dalam negara.\nDi samping itu, pendidikan terhadap kepentingan pertanian sebagai sumber makanan perlu dididik dan dijadikan sebagai contoh kepada masyarakat secara berterusan. Media perlu memainkan peranan sewajarnya demi memastikan rakyat sentiasa peka terhadap keadaan pertanian dan penternakan dalam negara di samping memastikan negara sentiasa mempunyai bekalan makanan yang mencukupi.\nDari sudut yang berbeza, peranan Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai peneraju utama didalam bidang pertanian boleh dimantapkan. Peranan UPM mestilah menyeluruh, bukan sekadar penyumbang kepada bahan kajian pertanian semata-mata, malah boleh dijadikan sebagai hub dalam melahirkan graduan dalam bidang pertanian dan penternakan yang mempunyai kekuatan mental dan fizikal untuk menghadapi dunia pertanian sebenar di luar. Graduan juga haruslah tidak kekok turun ke ladang untuk bercucuk tanam di samping boleh menguruskan perniagaan bagi pertanian yang diusahakannya.\nKita tidak menafikan usaha kerajaan dalam misi memastikan bekalan makanan mencukupi seperti dengan pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 yang dilancarkan pada tahun lepas untuk menjamin bekalan makanan negara mencukupi dan selamat serta menjadikan sektor agromakanan berdaya saing. Namun, idea dan tulisan ini adalah lahir daripada rakyat yang prihatin dan menyayangi negara ini. Rakyat mengharapkan tindakan yang lebih agresif dilakukan untuk memastikan bekalan makanan di negara ini sentiasa terjamin dan seterusnya rakyat dapat menikmati kehidupan yang berkualiti." "Hati dan Ancaman Virus Hepatitis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKita sudah tentu biasa mendengar perkataan hepatitis, bukan? Tahukah anda bahawa hepatitis secara umumnya bermaksud inflamasi atau keradangan pada hati. Hati ialah organ yang menjalankan pelbagai fungsi metabolisme dan perkumuhan di dalam badan. Organ ini terletak di bahagian atas kanan pada ruang abdomen badan manusia, yakni secara anatominya organ ini berada di posisi lebih atas daripada perut, ginjal dan usus.\nSecara umumnya, fungsi hati adalah untuk menapis, menguraikan darah, metabolisme dan toksifikasi bahan, sintesis protein dan penyimpanan vitamin atau mineral. Antara fungsi utamanya termasuklah:\nAntara punca berlakunya inflamasi hati adalah seperti yang berikut:\nDi Malaysia, hepatitis yang paling kerap berlaku adalah disebabkan oleh jangkitan virus hepatitis B dan hepatitis C serta pengambilan alkohol secara berlebihan. Terdapat lima jenis virus yang menyebabkan hepatitis A, B, C, D, dan E berlaku.\nHepatitis A adalah berpunca daripada jangkitan virus hepatitis A (HAV) yang dikategorikan dalam keluarga Picornaviridae. Jangkitan virus ini ditularkan daripada makanan dan air yang tercemar. Virus ini juga boleh dijumpai\u00c2\u00a0 di dalam najis pesakit. Penyebaran HAV boleh berlaku, terutamanya daripada penyedia makanan yang dijangkiti tidak menjaga kebersihan diri seperti tidak membasuh tangan, terutamanya selepas ke tandas dan seterusnya boleh menyebarkan virus kepada orang lain melalui pencemaran makanan dan minuman.\nTambahan pula, partikel virus dikeluarkan daripada badan pesakit selama sekurang-kurangnya dua minggu sebelum pesakit mula menunjukkan sebarang simptom dan gejala penyakit. Hal ini secara tidak langsung meningkatkan penyebaran virus sekiranya pesakit tidak tahu status jangkitan padanya.\nSebaik sahaja virus memasuki tubuh, HAV akan membiak dalam sel usus dan kemudiannya memasuki salur darah sekali gus menyebabkan jangkitan darah yang dikenali sebagai viremia dan seterusnya menjangkiti sel hati. Sel yang dijangkiti seterusnya mengalami keradangan dan seterusnya mengganggu fungsi normal hati, termasuklah mengehadkan penyingkiran bilirubin daripada darah. Apabila berlaku pengumpulan bilirubin dalam darah, keadaan ini menyebabkan warna kulit dan skelera mata pesakit juga berubah menjadi kuning. Situasi ini dipanggil sebagai jaundis.\nSementara itu, dianggarkan sebanyak 70 peratus daripada kanak-kanak yang berumur enam tahun ke atas menunjukkan gejala seperti demam, pening, muntah, cirit-birit, sakit perut, sakit sendi, dan lemah badan. Secara umumnya, manifestasi penyakit biasanya tidak teruk (akut) dan mampu sembuh dengan sendirinya dalam jangka masa beberapa minggu tanpa rawatan bergantung pada imuniti tubuh seseorang itu. Namun begitu, golongan yang berisiko seperti warga tua dan pesakit kanser boleh mengalami jaundis. Najis pesakit juga akan berubah kepada warna kuning pucat atau pudar.\nLangkah pencegahan hepatitis A adalah melalui penjagaan kebersihan diri dan mengamalkan sanitasi yang betul termasuklah pengurusan sistem kumbahan yang baik. Pengambilan vaksin hepatitis A juga mampu mencegah jangkitan ini, terutamanya apabila berkunjung ke negara endemik HAV.\nVirus hepatitis B (HBV) tergolong dalam keluarga virus Hepadnaviridae dan menyebabkan penyakit hepatitis B. HBV berjangkit melalui sentuhan dengan cecair badan seperti air liur, air mani, cecair faraj, dan sebagainya serta darah, misalnya melalui hubungan seksual, perkongsian jarum suntikan, pemindahan darah, dan pendermaan organ.\nWalaupun HBV dikatakan tidak boleh menembusi plasenta, namun transmisi virus daripada ibu kepada bayi dikatakan boleh berlaku semasa proses kelahiran. Bayi yang dilahirkan oleh pesakit HBV perlu diberikan vaksin HBV dan rawatan antibodi Hepatitis B Immune Globulin (HBIG) secepat mungkin sebaik sahaja dilahirkan untuk mengurangkan risiko jangkitan. Walaupun virus HBV boleh ditemui dalam susu ibu, namun penyusuan secara langsung kepada bayi tidak menyebabkan jangkitan HBV.\nVirus HBV mengambil masa kira-kira 120 hari sebelum menunjukkan sebarang simptom dan gejala. Bagi kebanyakan pesakit, virus hanya menyebabkan penyakit akut dan akan sembuh sepenuhnya dalam beberapa minggu. Namun begitu, 10 peratus daripada pesakit, terutamanya kanak-kanak akan mendapat penyakit hepatitis B yang kronik. Hepatitis B kronik akan menyebabkan inflamasi hati yang berterusan sehingga berlakunya kematian tisu pada hati atau dikenali sebagai sirosis. Keadaan ini boleh mengakibatkan kegagalan fungsi hati. Lebih membimbangkan, HBV boleh menyebabkan kanser hati.\nOleh sebab itu, saringan awal perlu dilakukan untuk mengesan jangkitan agar rawatan dan pengawasan awal dapat diberikan bagi mengelakkan kegagalan fungsi hati. Pemberian vaksin hepatitis B kepada semua bayi dan golongan berisiko (pekerja kesihatan, pesakit yang menerima haemodialisis dan sebagainya) amat penting sebagai langkah pencegahan.\nVirus hepatitis C (HCV) tergolong dalam keluarga virus jenis Flaviviridae yang menyebabkan hepatitis C. Hepatitis C dikatakan pembunuh senyap kerana kebanyakan pesakit tidak mempunyai sebarang simptom pada peringkat awal jangkitan. Penyakit hanya dapat dikesan setelah jangkitan menjadi kronik, yakni tisu hati mula rosak.\nJangkitan berlaku disebabkan oleh kontak langsung dengan cecair badan dan darah dengan pesakit HCV seperti perkongsian jarum suntikan serta pendermaan darah dan organ. Jangkitan daripada ibu hamil kepada bayi kandungan juga boleh berlaku kerana virus ini boleh menembusi plasenta ibu.\nPada peringkat awal jangkitan, kebanyakan pesakit tidak menunjukkan sebarang simptom atau gejala. Pesakit akan menunjukkan simptom setelah berada pada fasa kronik, iaitu selepas beberapa tahun jangkitan. Kajian menunjukkan hampir 85 peratus pesakit akan mengalami hepatitis C kronik. Komplikasi penyakit ini yang lebih teruk ialah sirosis hati dan kanser hati. Pada tahap ini, pesakit akan menunjukkan kegagalan fungsi hati termasuklah jaundis, risiko pendarahan dan jangkitan yang berlarutan disebabkan oleh penurunan sistem imun tubuh pesakit.\nSetakat ini, vaksin yang berkesan untuk hepatitis C masih belum ditemukan. Langkah pencegahan yang perlu diambil untuk menghindari jangkitan ialah mengelakkan kontak secara langsung dengan cairan tubuh pesakit dan mengelakkan perkongsian jarum suntikan. Saringan hepatitis C boleh dilakukan dengan ujian serologi daripada sampel darah untuk pengesanan penyakit. Adalah penting bagi pesakit untuk mengetahui status jangkitan dari awal bagi memudahkan rawatan dan pencegahan. Perlu diingat, hepatitis C kronik masih boleh dirawat dengan antivirus bagi mengelakkan komplikasi yang teruk.\nJangkitan virus hepatitis D (HDV) dan virus hepatitis E (HEV) jarang-jarang berlaku. Hepatitis D hanya akan terjadi dengan kehadiran virus hepatitis B, manakala HEV lebih menyerupai HAV, yakni penularan jangkitan berlaku disebabkan oleh pencemaran makanan dan minuman. Dalam sesetengah kes, wabak HEV boleh berlaku disebabkan oleh pengambilan daging separa masak dan makanan laut. Setakat ini, masih tiada vaksin yang berkesan bagi kedua-dua virus ini.\nSebagai kesimpulannya, pengetahuan berkaitan dengan penyakit hepatitis amat penting bagi mencegah penyakit ini dan mengelakkan komplikasi yang lebih teruk sekali gus boleh membawa kepada kegagalan fungsi hati. Oleh itu, jagalah hati untuk kesejahteraan diri. Mencegah lebih baik daripada merawat.\n\u00a0\nDr. Norhidayah Badya dan Dr. Kamariah Abdul Jalil ialah Pensyarah di Fakulti Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu." "Raja Muda Perlis Hargai Khidmat Bakti Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Sirajuddin Hashim atas segala khidmat bakti yang dicurahkan kepada negeri Perlis dan rakyat, khususnya ketika mengharungi pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak tahun 2020 ketika berkenan berangkat menerima sembah mengadap perpisahan beliau dan isterinya di Istana Arau, petang semalam.\n\n\nDr. Sirajuddin Hashim akan bertukar keluar atas sebab kenaikan pangkat ke jawatan baharu sebagai Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak berpejabat di Ipoh yang berkuat kuasa pada 25 Julai 2022 ini.\nBaginda berdua sangat menghargai segala sumbangan yang diberikan oleh Dr. Sirajuddin Hashim dan berharap agar beliau akan terus mencurahkan bakti kepada agama, bangsa dan negara serta terus maju jaya di tempat perkhidmatan yang baharu.\nAntara kejayaan utama yang dicapai oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis di bawah perkhidmatan beliau sepanjang tempoh dari 7 Ogos 2018 hingga 22 Julai 2022 ialah memperoleh \u201cPenarafan Bintang KPI HRMIS Kecemerlangan 100 Peratus Peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 2019-2021\u201d dan juara pertandingan \u201cKejohanan Liga Woodball Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra, 2018 dan 2019\u201d.\nSelain itu, pada tahun 2019 JKN Perlis telah mendapat tempat pertama dalam \u201cPertandingan Video Pendek Hari Keselamatan Makanan Sedunia\u201d dan pada tahun 2020 pula memenangi \u201cAnugerah Utama dalam [email\u00a0protected] Challenge 2019 (PERKESO and BookDoc) \u2013 Kategori Kerajaan\u201d serta memperoleh tempat pertama dalam \u201cAnugerah Pencapaian Terbaik Kategori Klinik Kesihatan dengan Bilangan Saringan Kesihatan PeKa B40 bagi tahun 2019-2020\u201d.\nSementara itu, pada tahun 2021, JKN Perlis muncul sebagai johan dalam \u201cInovasi Penciptaan, Kategori Penyampaian Perkhidmatan, Konvensyen KIK, KKM\u201d." "Taman Botani UUM sebagai Produk Pelancongan Pendidikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSintok \u2013 Taman Botani Universiti Utara Malaysia (UUM) berpotensi menjadi satu daripada produk\u00a0pelancongan pendidikan\u00a0 atau edutourism bagi meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menghargai sumber alam semula jadi di samping menggamit kehadiran pelancong.\nNaib Canselor UUM, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, kawasan seluas 10 hektar itu dilihat mampu menjadi pusat rekreasi berkonsepkan alam semula jadi untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai tumbuh-tumbuhan dan sumber hutan.\nJelasnya, inisiatif ini diambil demi melindungi, memelihara dan memulihara tumbuh-tumbuhan asli yang jarang ditemui dan semakin terancam serta bernilai tinggi, khususnya pokok kebangsaan Malaysia, iaitu Merbau.\nKawasan hutan yang menghijau cukup cantik dan mendamaikan ini kaya dengan pelbagai tumbuhan istimewa yang boleh ditemui seperti 50 spesies pokok palma, 14 spesies buluh, 33 spesies pokok hiasan, empat spesies pokok landskap dan 70 spesies pokok hutan asal selain 43 spesies pokok yang ditanam untuk pengekalan spesies ex situ.\n\u201cPengunjung boleh melakukan aktiviti santai yang menyihatkan seperti bersiar-siar, bergambar, berjoging, berkayak di kolam botani dan belajar tentang tumbuh-tumbuhan yang boleh menerbitkan rasa cinta terhadap alam,\u201d katanya ketika melawat Taman Botani sempena Program Perhimpunan Bulanan UUM pagi tadi.\nSehubungan dengan itu, bagi merealisasikan hasrat ini, kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan perlu dilakukan di samping menyediakan kemudahan riadah serta memaparkan info terhadap pokok yang dipamerkan.\nSementara itu, Penolong Pemelihara Hutan di Jabatan Pembangunan dan Penyengaraan, Amran Mahmud berkata, Taman Botani ini dibangunkan bertujuan mengekalkan sumber alam semula jadi di Sintok yang kaya dengan flora dan fauna.\nTaman ini bertindak sebagai pusat pengumpulan spesies tumbuh-tumbuhan untuk pembelajaran, pemeliharaan serta pemuliharaan bagi pembangunan pertanian dan alam sekitar yang lestari.\n\u201cPara pelajar juga sering melakukan aktiviti riadah sekitar kawasan taman yang turut dilengkapi kemudahan asas seperti wakaf, trek pejalan kaki dan tandas,\u201d tambahnya lagi." "Membayangkan Dunia Tanpa Burung\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBurung merupakan komponen ekosistem yang sangat menarik, sama ada secara visual ataupun akustik sehinggakan burung dipilih sebagai lambang kepada sesetengah budaya di dunia. Burung juga memberikan faedah kepada pelbagai fungsi ekosistem seperti pemangsa, pendebunga, pemakan bangkai, penyebar biji benih dan jurutera ekosistem. Di samping itu, kesihatan manusia, ekonomi dan pengeluaran makanan juga dipengaruhi secara langsung oleh peranan burung.\nBurung sebagai Pengawal Perosak\nBurung memakan antara 400 juta hingga 500 juta tan serangga pada setiap tahun. Sebagai contohnya, dua per tiga daripada diet Layang-layang Rumah (Apus nipalensis) terdiri daripada serangga perosak pertanian. Jadi, mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kita akan mengharungi invertebrata setinggi paras pinggang jika banyak spesies burung pupus!\nSelain daripada serangga, haiwan mamalia kecil seperti tikus juga turut mengancam tanaman. Untuk kes perosak ini, burung Pungguk Jelapang (Tyto alba) merupakan wiranya! Tidak hairanlah jika kotak sarang burung Pungguk Jelapang banyak dibina dalam ladang kelapa sawit di Malaysia sebagai satu daripada kaedah kawalan perosak secara biologi.\nBurung sebagai Agen Pendebungaan\nApabila sebut tentang pendebunga, lebah dan kupu-kupu merupakan haiwan yang akan muncul dalam fikiran kita. Walau bagaimanapun, pendebunga burung seperti burung kelicap juga memberikan sumbangan yang besar, terutamanya di kawasan beraltitud tinggi dan bercuaca panas.\nDi Sarawak misalnya, dua spesies durian, iaitu Durio grandiflorus dan Durio oblongus didebungakan oleh burung Kelicap Jantung Paruh Tebal (Arachnothera robusta), Kelicap Jantung Telinga Berus (Arachnothera chrysogenys) dan Kelicap Jantung Besar (Arachnothera\u00a0flavigaster). Sementara itu, Durio kutejensis didebungakan oleh burung Sepah Puteri Perut Jingga (Dicaeum trigonostigma) dan Kelicap Kelabu Melayu (Anthreptes simplex).\nBunga yang didebungakan oleh burung adalah kurang berbau kerana burung lebih tajam akan penglihatan daripada bau. Tugas burung sebagai pendebunga memberikan manfaat kepada manusia secara langsung. Hal ini dikatakan demikian kerana kira-kira lima peratus tumbuh-tumbuhan yang dimakan manusia atau digunakan sebagai ubat-ubatan didebungakan oleh burung.\nWalau bagaimanapun, aktiviti pertanian yang sengit dan berskala besar mengancam pendebunga dan seterusnya mengurangkan populasi burung apabila haiwan ini kehilangan tempat untuk membuat sarang dan mencari makanan. Jika burung yang terlibat semakin pupus, kesannya mungkin drastik. Sebagai contohnya, sebanyak 31 spesies bunga Loceng Hawaii pupus berikutan kepupusan burung yang mendebungakannya.\nBurung sebagai Pembersih Alam\nKehadiran burung Gagak Paruh Besar (Corvus macrorhynchos) sering dianggap menyeramkan kerana disangka sebagai petanda kematian. Namun begitu, pada hakikatnya burung ini akan sampai dengan lebih cepat (kebiasaannya dalam masa sejam setelah kematian berlaku) untuk memeriksa dan memakan bangkai yang masih \u201csegar\u201d.\nPembangkai lain seperti anjing liar dan tikus hanya akan hadir selepas beberapa hari berlakunya kematian. Pada waktu ini, penyakit yang boleh membawa maut seperti rabies dan tuberkulosis akan mula merebak. Inilah keistimewaan burung gagak! Jika burung pemakan bangkai ini pupus, berkemungkinan bilangan anjing liar akan meningkat serta akan membawa kepada penyebaran rabies dan seterusnya menyebabkan kematian dalam kalangan manusia turut meningkat.\nBurung sebagai Penyebar Biji Benih\nBurung akan mengangkut bersama-sama benih yang telah dimakan semasa penghijrahan burung dan menyebarkannya ke seluruh wilayah baharu melalui najisnya. Sebagai contohnya, ulam pokok Tenggek Burung (Melicope ptelefolia) dibiakkan melalui biji benih yang disebarkan oleh burung yang gemar memakan buahnya. Mungkin dari situlah ulam ini mendapat namanya!\nSelain itu, burung juga berupaya untuk mengangkut tumbuh-tumbuhan melalui jarak lautan yang luas ke daratan baharu. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu dalam memulihara tumbuh-tumbuhan dalam ekosistem yang telah terdegradasi. Burung juga memainkan peranan penting dalam membentuk kehidupan tumbuh-tumbuhan yang boleh ditemui di sekeliling kita. \u00a0Sebagai contohnya, burung enggang bukan sahaja unik, malah burung ini memainkan peranan yang sangat penting kepada ekosistem hutan tropika sebagai penyebar biji benih buah-buahan ke seluruh kawasan hutan. Disebabkan itu, burung enggang diangkat sebagai spesies payung dan keytone species.\nBurung sebagai Arkitek Landskap\nTempat tinggal manusia di seluruh dunia dipengaruhi oleh habitat semula jadi seperti hutan, paya dan padang rumput. Persekitaran ini menyimpan karbon, mengekalkan iklim yang stabil, mengoksidakan udara dan menukar bahan pencemar kepada nutrien. Walau bagaimanapun, sebahagian besar ekosistem ini berkemungkinan tidak akan kekal tanpa wujudnya burung.\nBurung bertanggungjawab memelihara keseimbangan dalam sesebuah ekosistem seperti hubungan antara tumbuhan dengan herbivor serta antara mangsa dengan pemangsa. Di Malaysia sahaja, terdapat seluas 586 036 hektar hutan bakau. Hutan bakau berperanan sebagai pemampan hakisan ombak dan terbukti mampu bertindak sebagai pemampan tsunami kerana sifatnya yang tumbuh secara padat dan akarnya yang kukuh di pesisiran kuala.\nHaiwan yang menarik di kawasan bakau dan dataran lumpurnya merupakan spesies burung air dan burung pantai seperti Bangau Kecil (Egretta garzetta), Bangau Besar (Ardea alba), Pucung Bakau Biasa (Butorides striata), Pucung Seriap Biasa (Ardea cinerea), Botak Kecil (Leptoptilos javanicus), Helang Tembikar Merah (Haliastur indus), Helang Laut Putih (Haliaeetus leucogaster), \u00a0Pacat Bakau (Pitta megarhyncha), Murai Siul Bakau (Pachycephala cinerea), Sambar Biru Bakau (Cyornis rufigastra), dan Pekaka Bakau Biasa (Todiramphus chloris). Burung-burung inilah yang memakan pelbagai jenis makanan termasuklah plankton, tumbuh-tumbuhan air, cacing, krustasia, moluska dan ikan. Jika burung ini tiada, berkemungkinan siput kecil akan berleluasa dan menjadikan ekosistem paya bakau tidak seimbang.\nTerumbu Karang Bergantung Hidup pada Burung\nBurung laut memainkan peranan yang sangat penting dalam kitaran nutrien serta membantu dalam menyuburkan ekosistem marin seperti terumbu karang. Bagaimanakah hal ini terjadi? Kita sedia maklum bahawa burung laut terbang sejauh ratusan kilometer merentasi lautan untuk mencari makanan. Setelah itu, burung ini akan menyumbang nutrien yang sangat tinggi ke pulau dengan cara meninggalkan guano (najis). Guano akan meresap ke dalam air lalu menyuburkan hidupan marin seperti terumbu karang serta meningkatkan produktiviti fauna dan flora pulau.\nKajian di Kepulauan Chagos mendapati kepadatan burung laut adalah berkadar langsung dengan pemendapan nitrogen yang menjadi sumber nutrien pelagik, makroalga, span penuras, alga rumput dan ikan yang terdapat pada terumbu karang. Ikan yang berada berhampiran dengan terumbu karang akan membesar dengan lebih cepat dan mempunyai biojisim yang lebih tinggi berbanding dengan ikan seusianya di kawasan lain.\nSaintis Mendapat Inspirasi daripada Burung\nSejak zaman dahulu lagi, burung telah menjadi sumber inspirasi kepada manusia. Burung bukan sahaja membantu dalam membangunkan ilmu penerbangan, malah menjadi inspirasi dalam reka bentuk zip yang diperhatikan daripada struktur barbul pada bulu pelepah burung. Selain itu, teori evolusi melalui pemilihan semula jadi juga telah dirumuskan oleh penyelidik Charles Darwin melalui pemerhatiannya terhadap burung ciak di kepulauan Galapagos.\nWalau bagaimanapun, burung bukan sekadar pemberi inspirasi, malah spesies ini dapat menyampaikan maklumat kepada manusia tentang keadaan semasa bumi. Hal ini dikatakan demikian kerana burung juga merupakan satu daripada spesies penunjuk biologi. Manusia boleh menterjemahkan kehadiran atau kelakuan burung sebagai amaran awal kepada perubahan persekitaran seperti iklim.\nBurung merupakan ahli ekologi yang sebenar. Tugas burung bukan sahaja dalam penghutanan semula, pendebungaan biji benih, pengawal perosak, menyuburkan hutan dan pertanian, malah burung memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan alam semula jadi ini seimbang dan memberikan amaran jika hal berlaku sebaliknya.\n\u00a0\nDr. Aainaa Syazwani Mohamad Amir Hamzah merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan." "Majlis Perpisahan Sanjungan Budi Hargai Jasa Dr. Sirajuddin Hashim\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Majlis Perpisahan Sanjungan Budi yang diadakan untuk meraikan pertukaran keluar Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Sirajuddin Hashim dihoskan oleh DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan DYMM Raja Perempuan Perlis, Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid di Mess Pegawai Kanan Polis DiRaja Malaysia, Jalan Raja Muda, Kangar malam semalam.\nMajlis yang diadakan ini membuatkan Dr. Sirajuddin Hashim begitu tersentuh dengan keprihatinan Duli-Duli Tuanku dan usaha daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)\u00a0kepada pesakit buah pinggang di negeri ini\u00a0selepas melihat sebuah pusat dialisis dengan kapasiti yang begitu besar dibina di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.\nSelaras dengan perkembangan kemajuan negara, infrastruktur kesihatan di negeri Perlis juga menerima suntikan arus pemodenan. Beberapa fasiliti baharu yang lengkap dengan peralatan perubatan terkini telah mula beroperasi di sini seperti Klinik Kesihatan Kampung Gial dan Klinik Kesihatan Chuping.\nMenurut beliau, pelbagai projek sedang rancak pembinaannya dan dijangka akan beroperasi pada tahun hadapan seperti Klinik Kesihatan Padang Besar, Klinik Kesihatan Pauh dan Blok Sambungan Wad Rawatan Rapi di HTF. Sebagai tambahan, Klinik Kesihatan Beseri juga akan dibina bermula pada tahun hadapan dengan sebuah bangunan klinik setinggi empat tingkat bagi menggantikan bangunan klinik yang sedia ada.\nTambah beliau lagi, pelbagai peralatan perubatan dan aset turut ditambah baik serta dinaik taraf dari semasa ke semasa. Perolehan aset baharu seperti trak bergerak untuk kegunaan program dan promosi kesihatan serta sebuah bas yang akan menjadi klinik pergigian bergerak juga diharapkan mampu menjadi pembakar semangat untuk meningkatkan taraf perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.\nSementara itu, melalui titah DYMM Raja Perempuan Perlis, baginda memaklumkan bahawa majlis tersebut diadakan khusus untuk menghargai jasa Dr. Sirajuddin Hashim yang telah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan cemerlang untuk seluruh rakyat negeri Perlis dan berharap beliau akan terus maju dalam kerjayanya pada masa akan datang.\n\u00a0\nBerangkat sama ialah DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.\nDr. Sirajuddin Hashim akan bertukar atas sebab kenaikan pangkat sebagai Pengarah Kesihatan Negeri Perak yang berkuat kuasa mulai 18 Julai 2022 dan akan melaksanakan amanah baharunya di Jabatan Kesihatan Negeri Perak mulai 25 Julai 2022." "Raja Muda Perlis Rasmi Program Komuniti dan Kesihatan serta Kayuhan Jelajah Sihat BSMM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Perlis \u2013 Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Komuniti dan Kesihatan serta Kayuhan Jelajah Sihat Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) yang diadakan di Projek DiRaja Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai, Kuala Perlis, semalam.\nProgram yang dianjurkan oleh pihak BSMM dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ini memberikan sumbangan berbentuk infrastruktur dan logistik program. Program ini juga mendapat kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri, Polis DiRaja Malaysia, para kepimpinan, dan penduduk kawasan setempat.\nMenurut Setiausaha Agung BSMM, Tuan Haji Hakim Haji Hamzah, pihak BSMM telah memperuntukkan sebanyak 390 pek makanan kepada komuniti dalam golongan B40 yang kurang berkemampuan di negeri Perlis melalui program ini.\nProgram yang ditaja oleh Majlis Pemulihan Negara bagi Bantuan Makanan dan International Federation of Red Cross Red Crescent (IFRC) ini mengandungi program elemen kesihatan berbentuk penyediaan perkhidmatan klinik bergerak, program kesihatan mental dan sokongan psikososial, dan program bantuan kecemasan agar memberikan impak yang lebih besar kepada komuniti yang masih terjejas dengan kawalan pergerakan serta virus COVID -19.\nBSMM merupakan satu daripada badan agensi berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta 540 dan segala misi pergerakannya adalah di bawah Arahan 18, 20, 21 Majlis Keselamatan Negara. Bulan Sabit Merah merupakan satu daripada tunjang utama serta menyokong segala langkah yang diambil oleh pihak kerajaan bagi memberikan perkhidmatan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat sejagat bertepatan dengan slogannya \u201cNobody shall be left behind\u201c.\nBersempena dengan program ini, DYTM Raja Muda Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis turut berkenan menyaksikan demonstrasi ikatan dan balitan kecemasan, bantuan CPR, tercekik, saringan kesihatan terhadap 150 orang warga kampung, permainan kanak-kanak, Busking PEKOLA, dan taklimat kebersihan diri.\nCara DYTM Raja Muda Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis berserta MAIPs yang telah membawa kampung nelayan ini ke dalam jagaan tuanku dan mengambil keprihatinan rakyat dalam penjagaan peribadi tuanku benar-benar memberikan inspirasi kepada semua.\nDemikian titah YTM Tunku Temenggong Kedah, Dato\u2019 Seri DiRaja Tan Sri Tunku Putri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu\u2019adzam Shah yang juga merangkap Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia." "Tulisan Jawi Bukan Picisan di Kuala Kangsar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKawasan sekitar termasuklah bangunan, restoran terkemuka, papan tanda dan nama jalan di Kuala Kangsar, Perak, telah dihiasi dengan tulisan Jawi sebagai langkah membudayakan semula tulisan tersebut. Pihak Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) kini sedang mengorak langkah bagi pembudayaan tulisan Jawi, khususnya di pusat bandar.\nTerdapat banyak maklum balas positif daripada pengendali premis komersial di daerah ini berhubung dengan langkah yang diambil oleh MPKK tersebut. Walau bagaimanapun, tiada paksaan atau tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap mereka yang enggan. Hal ini demikian kerana setakat ini MPKK hanya menggalakkan pelaksanaan ke arah itu.\nMenurut Yang Dipertua MPKK, Encik Zulqarnain Mohamad, pihaknya menerima banyak maklum balas positif daripada pengendali premis komersial di daerah ini berhubung dengan langkah yang diambil oleh pihaknya. Menurut Zulqarnain, MPKK lebih kepada menggalakkan serta mengadakan perbincangan dengan pemilik premis tertentu dan tindakan tersebut mendapat sambutan baik.\n\u201cSudah banyak nama jalan di Kuala Kangsar yang MPKK ketengahkan menggunakan tulisan Jawi, malah ada sebilangan premis yang terkemuka akan diketengahkan dengan penggunaan tulisan berkenaan,\u201d kata Zulqarnain.\nPembudayaan semula tulisan Jawi, tambah Zulqarnain, bukanlah sesuatu yang aneh kerana tulisan tersebut diguna pakai oleh kolonial British untuk menulis surat rasmi kepada Raja-raja Melayu pada suatu ketika dulu. Tambah beliau, taraf Kuala Kangsar sebagai Bandar Diraja Perak yang dikenali umum dengan tradisi budaya serta warisan tersendiri sudah tentu amat layak membudayakan semula tulisan terbabit.\nTulisan Jawi, tegas Zulqarnain, bukanlah sesuatu yang asing meskipun ada beberapa pihak mengaitkannya dengan unsur keagamaan. Tiada paksaan dalam agama, malah di negara lain seperti Lubnan misalnya, gereja penganut Kristian pun ditulis dengan tulisan Arab.\n\u201cKita tidak boleh melihatnya dengan pandangan yang sempit sebegitu. Tambahan pula, setakat ini di Kuala Kangsar masih belum ada isu berbangkit mengenainya,\u201d kata Zulqarnain.\nAntara restoran terkemuka, papan tanda dan nama jalan di Kuala Kangsar yang menggunakan tulisan Jawi termasuklah \u201cPokok Getah Pertama Malaya\u201d, Jalan Kangsar, Jalan Dato Maharaja Lela, Jalan Taiping, Jalan Laksamana dan Jalan Syahbandar.\n\n\n\nBeberapa orang individu kelahiran Kuala Kangsar yang merangkumi golongan penulis, profesional, dan pelajar yang baru menamatkan pengajian di universiti awam turut bersetuju dengan langkah MPKK ini. Sebagai golongan muda, Fatheen Mohamed, iaitu mantan pelajar Universiti Putra Malaysia amat menyokong penuh usaha sebegini yang dilakukan pihak yang bertanggungjawab.\n\u201cSeperti kita sedia maklum, sistem tulisan Jawi bukanlah perkara asing. Sistem tradisi keilmuan Melayu yang telah wujud sejak dahulu telah membuktikan kegemilangan sistem tulisan Jawi yang sistematik, sekali gus memenuhi syarat bagi sesebuah kerajaan atau negara itu bertamadun,\u201d kata Fatheen, anak jati Kuala Kangsar.\nWalau bagaimanapun, sebagai golongan muda, Fatheen turut bersedih dengan anak-anak muda kini yang semakin melupakan tulisan Jawi. Katanya, hal itu bukan sahaja tertumpu pada kegagalan untuk menulis semata-mata tetapi juga kegagalan mereka membaca dan mengenal huruf-huruf asas.\n\u201cOleh itu, saya amat bersetuju sekiranya papan-papan tanda di sekitar bandar Kuala Kangsar ditulis juga dengan tulisan Jawi ini. Sekurang-kurangnya, kita tidak terus tenggelam oleh arus kemodenan sehingga melenyapkan warisan terulung negara kita ini,\u201d tegas Fatheen.\n\nBagi penyair terkenal, Ijamala MN pula berpendapat bahawa langkah MPKK ini memang wajar kerana ini adalah antara cara untuk meletakkan tulisan Jawi di atas landasan yang betul. Ijamala atau nama sebenarnya, Mohd Noor Hamzah yang berasal dari Kampung Jamuan turut mencadangkan agar penjawat awam dilibatkan dalam usaha pemartabatan tulisan Jawi ini.\n\u201cPada peringkat permulaan, saya mencadangkan agar penjawat awam memakai tanda nama dalam tulisan Jawi pada hari Jumaat. Hari Jumaat sangat relevan kerana telah diangkat sebagai Hari Jawi Kebangsaan. Sebagai orang Melayu yang beragama Islam, sudah sepatutnya kita ada kesedaran sedemikian,\u201d tegas Ijamala.\nSeorang lagi penulis kelahiran Kuala Kangsar, iaitu M. Shah yang biasa menulis sajak turut menyokong langkah MPKK dalam mengangkat tulisan Jawi di sekitar Kuala Kangsar. Bagi dirinya yang berasal dari Kota Lama Kiri, segala usaha yang baik memang tidak wajar ditentang.\nTegas Al Hisyam pula, tujuan murni MPKK memaparkan tulisan Jawi pada restoran terkemuka, papan tanda dan nama jalan ini perlu diteruskan dengan lebih bermakna.\n\u201cDi Kelantan dan di Terengganu, telah lama ada usaha mengangkat tulisan Jawi sebegini. Sekolah-sekolah agama di Kuala Kangsar yang dinaikkan taraf sebagai sekolah bantuan penuh kerajaan juga wajar tampil dengan tulisan Jawi. Sebelum ini, hanya Maahad Al Yahyawiah, Padang Rengas, dan Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan sahaja yang mengangkat tulisan Jawi,\u201d kata Al Hisyam yang berasal dari Padang Rengas.\nTambah Al Hisyam atau nama sebenarnya, iaitu Abdul Latiff Hisham Shamsuri, pemartabatan tulisan Jawi di sekitar Kuala Kangsar juga, relevan kerana telah melahirkan banyak tokoh agama Islam.\n\u201cKuala Kangsar juga mempunyai badan penulis dan budaya, seperti Lembaga Pembangun Sastera Perak untuk turut sama berganding bahu melaksanakan tujuan murni ini agar menjadi yang terbaik,\u201d jelas Al Hisyam.\nSementara itu, penulis bebas kelahiran Padang Rengas, Sallehuddin Ibrahim, mengalu-alukan usaha MPKK ini. Namun begitu, beliau yang juga pengasas Program BACATON sejak 10 tahun lalu berpendapat bahawa langkah berkenaan perlu diperluas dengan pelibatan pelbagai agensi kerajaan dan swasta." "Ruang Reka STIE Dirasmikan di Kampung Laut, Kelantan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTumpat \u2013 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melancarkan Program Ruang Reka Sains, Tekonologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) Keluarga Malaysia yang keenam di Kampung Laut, Tumpat Kelantan semalam sebagai usaha mempergiat aktiviti STIE di kawasan luar bandar.\nRuang Reka STIE di Kampung Laut yang dibangunkan oleh MOSTI melalui Yayasan Inovasi Malaysia dengan sokongan Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan dan Universiti Malaysia Kelantan ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim.\nRuang reka STIE Keluarga Malaysia di Kampung Laut ini menampilkan sudut inovasi yang memberikan peluang kepada golongan B40 seperti ibu tunggal, belia dan golongan orang kelainan upaya (OKU) menerima latihan dan seterusnya menjana pendapatan isi rumah melalui modul latihan daripada pihak UMK\nBeliau berkata dengan adanya Ruang Reka STIE di sini, masyarakat setempat berpeluang untuk berkumpul dan berinovasi dengan menggunakan teknologi sedia ada seperti pencetak 3D, robotik, dron dan lain-lain peralatan secara praktikal sekali gus boleh meningkatkan kualiti kehidupan, produktiviti serta ekonomi komuniti setempat melalui olahan idea dan kreativiti yang dapat dipasarkan\n\u201cMOSTI juga menyasarkan untuk mewujudkan suatu ekosistem dalam ekonomi yang diterajui oleh sains, teknologi dan inovasi yang akan memudahkan pembangunan teknologi tempatan dengan mewujudkan peluang ekonomi dan melahirkan bakat atau tenaga kerja dalam bidang kecerdasan buatan (AI), Internet Benda (loT) dan teknologi blok rantai melalui hab ruang reka ini,\u201d katanya lagi.\nTambahnya lagi, Ruang Reka STIE ini juga secara tidak langsung dapat membantu memperkembang pembangunan ekonomi, peningkatan kualiti hidup serta kesejahteraan masyarakat dalam usaha mencapai status negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.\nRuang Reka STIE merupakan sebuah Hab Reka Cipta Sains, Teknologi dan Inovasi yang lengkap bagi menggarap idea kreatif dan inovatif dalam menangani isu sosioekonomi serta komuniti setempat. Di samping itu, ruang ini juga merupakan usaha kerajaan dalam membudayakan STIE bagi melahirkan masyarakat yang berpengetahuan, berkemahiran, kreatif dan inovatif mellaui pendekatan Quintuple Helix, iaitu gabungan antara kerajaan, industri, akademia, masyarakat dan alam sekitar." "Mengubah Tanggapan tentang Kesihatan Mental\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIsu kesihatan mental, masalah kesihatan dan penyakit mental bukanlah suatu topik yang asing lagi pada masa ini. Namun begitu, isu ini masih sering disalah erti oleh masyarakat. Kesilapan dalam memahami perkara ini telah mengundang kepada salah tanggapan, pandangan yang tidak tepat dan persepsi serong. Penyakit mental merupakan antara penyebab utama individu hidup dalam penderitaan atau hilang upaya pada peringkat global.\nPada sekitar tahun 2019, sebanyak 970 juta orang individu mengalami penyakit mental. Daripada jumlah ini, kes skizofrenia (2.4 peratus), kemurungan (28.9 peratus) dan gangguan kegelisahan (31.0 peratus) telah berlaku. Penyakit mental bukan psikosis pula lebih tinggi peratusannya berbanding dengan penyakit psikosis (hilang kewarasan).\nSetelah pandemik COVID-19 melanda dunia, kes kemurungan melonjak daripada 193 juta kes kepada 246 juta kes, manakala gangguan kegelisahan pula meningkat daripada 298 juta kes kepada 374 juta kes. Secara puratanya, kadar peningkatan kes adalah lebih kurang 26 peratus hingga 28 peratus dalam tempoh setahun. Kes bunuh diri juga merupakan satu daripada komplikasi isu kesihatan mental dan dianggarkan berlaku dalam setiap 100 kes kematian pada peringkat global.\nDi Malaysia, kajian daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 menunjukkan sebanyak 2.3 peratus orang dewasa menderita akibat kemurungan dan sebanyak 7.9 peratus kanak-kanak berumur dalam lingkungan lima tahun hingga 15 tahun didapati mengalami masalah kesihatan mental. Tiada sesiapa yang boleh terkecuali daripada terdedah kepada masalah ini seperti ilustrasi kes yang berikut:\nIlustrasi Kes Pertama\nHaikal (bukan nama sebenar), berumur lapan tahun, pelajar tahun dua. Dia merupakan seorang kanak-kanak yang ceria dan aktif. Namun begitu, kawan-kawannya di sekolah tidak gemar berkawan dengannya kerana sering memotong barisan ketika beratur, tidak menumpukan perhatian di dalam kelas, berjalan-jalan di dalam kelas semasa waktu pembelajaran, tidak dapat memberikan kerjasama dalam aktiviti berkumpulan, dan kelihatan cemerkap. Ibu bapanya sering dipanggil oleh guru kerana sikapnya yang mengganggu kawan-kawan sekelasnya. Hal ini menyebabkan Haikal tidak mahu pergi ke sekolah.\nIbu bapa Haikal membawanya ke klinik psikiatri bagi mendapatkan penilaian dan rawatan. Haikal didapati mengalami masalah Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif atau Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD). Haikal telah dirawat dengan menggunakan ubat-ubatan dan terapi tingkah laku dengan bantuan ibu bapa dan guru. Beberapa bulan kemudian, Haikal kelihatan teruja untuk pergi ke sekolah. Kini, Haikal mempunyai banyak kawan. Tingkah lakunya juga lebih terkawal dan dapat memberikan sepenuh perhatian dan kerjasama dalam menyiapkan tugasan yang diberikan.\nIlustrasi Kes Kedua\nKavithra (bukan nama sebenar), berumur 16 tahun, pelajar tingkatan 4. Dia seorang pelajar yang bertanggungjawab, rajin dan cemerlang dalam akademik. Dia juga telah dilantik sebagai penolong ketua pengawas. Guru dan kawan-kawannya menaruh harapan yang tinggi terhadap prestasinya sebagai seorang pengawas. Sejak pelantikan tersebut, Kavithra kelihatan runsing, mudah marah dan kadangkala kaku ketika memberikan ucapan semasa perhimpunan pagi. Dia pernah melarikan diri ke tandas tatkala dipanggil oleh guru untuk membuat pengucapan awam.\nOleh itu, Kavithra mendapatkan pandangan daripada guru kaunselor dan menjalani Depression Anxiety Stress Scale (DASS-21). Keputusan skor Kavithra agak tinggi. Ibu bapanya membawanya ke klinik kesihatan yang berdekatan untuk mendapatkan rawatan.\nHasil pemeriksaan di klinik tersebut mendapati bahawa Kavithra mengalami Gangguan Kegelisahan Sosial atau Social Anxiety Disorder. Kavithra takut atau mengalami kegelisahan yang melampau untuk berhadapan dengan orang ramai dan kadangkala menjadi kaku akibat kesan panik. Pada masa tersebut, dia berasa dirinya seperti hilang akal dan menyebabkannya melarikan diri. Setelah menerima rawatan terapi kognitif dan tingkah laku, kini Kavithra lebih yakin dan tiada lagi perasaan mudah marah.\nIlustrasi Kes Ketiga\nPuan Lee (bukan nama sebenar), berumur 38 tahun, seorang suri rumah yang mempunyai lima orang anak yang berumur dari setahun hingga 10 tahun. Suaminya sering bekerja di luar kawasan dan jarang-jarang dapat meluangkan masa bersama-sama keluarganya. Puan Lee berasa murung, letih, sering terjaga daripada tidur di tengah malam, dan hilang minat terhadap hobi.\nSelain itu, Puan Lee kerap termenung kerana berasa dirinya tidak berguna dan menyusahkan orang lain. Dia mula mendengar \u201csuara\u201d yang mengiakan bahawa dia memang seorang yang menyusahkan. Mujurlah, kakaknya datang melawat dan dia segera membawa Puan Lee ke unit perubatan kecemasan di hospital untuk mendapatkan rawatan.\nPuan Lee disahkan mengalami Gangguan Kemurungan Major dengan Psikosis (halusinasi suara) atau Major Depressive Disorder with Psychosis. Setelah dimasukkan ke dalam wad selama beberapa hari, keadaan Puan Lee semakin pulih. Suami dan ahli keluarganya yang lain turut diberikan nasihat dan maklumat tentang penyakit dan rawatan yang diperlukan. Kini, Puan Lee dan keluarganya lebih bahagia setelah mereka memahami dan saling membantu memberikan sokongan antara satu sama lain.\nIlustrasi Kes Keempat\nPak Malik (bukan nama sebenar), berumur 65 tahun, tinggal bersama-sama isterinya, Mak Tijah (bukan nama sebenar), anak dan cucunya. Sejak kebelakangan ini, Pak Malik kerap pulang lewat dari masjid kerana terlupa jalan pulang. Mak Tijah menyedari bahawa suaminya juga mudah lupa dan sering bercakap sesuatu perkara itu berulang kali.\nPak Malik menjadi lebih sensitif dan kadangkala tingkah lakunya seperti kebudak-budakan. Mak Tijah turut terkesan dengan perubahan suaminya. Pak Malik memang tidak suka pergi ke klinik atau hospital. Setelah puas dipujuk, akhirnya Pak Malik dibawa ke Pusat Kesihatan Mental Masyarakat.\nSetelah membuat pemeriksaan, Pak Malik didapati mengalami masalah Gangguan Neurokognitif Major atau Major Neurocognitive Disorder atau mudah dikenali sebagai nyanyuk. Rawatan ubat-ubatan diberikan dan Mak Tijah turut diberikan penerangan dan sokongan kerana menjadi seorang penjaga pesakit nyanyuk sangat mencabar.\nBerdasarkan kesemua ilustrasi kes yang berikut telah menggambarkan gejala yang biasa dilaporkan oleh pesakit yang hadir ke fasiliti kesihatan. Hal ini bermakna, penyakit mental bukan sahaja merujuk skizofrenia, malah tidak terhad kepada kes yang telah dinyatakan. Pada hakikatnya, penyakit mental merangkumi pelbagai penyakit yang tersenarai dalam Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders Fifth Edition Text Revision (DSM-5-TR) atau International Classification of Diseases 11th Revision (ICD-11).\nKesihatan mental ditakrifkan sebagai keadaan atau status mental seseorang yang membolehkannya menangani stres dalam kehidupan, sedar akan kebolehan, mampu mempelajari, dan bekerja dengan baik serta dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat. Kesihatan mental merupakan komponen yang penting untuk kesejahteraan seseorang dan bukan sahaja bermaksud tidak mempunyai penyakit atau gangguan mental.\nBerdasarkan ICD-11, penyakit mental ialah sindrom yang memberikan kesan klinikal ketara yang mengganggu fungsi kognitif, kawalan emosi atau tingkah laku seseorang. Penyakit mental ini dapat dilihat proses pembentukannya dari segi psikologikal dan biologikal atau proses pembentukan asas mental dan tingkah laku yang sepatutnya terjejas. Gangguan ini biasanya akan menjejaskan keperibadian individu, keluarga, fungsi sosial, persekolahan, pekerjaan atau aspek penting yang lain dalam kehidupan seseorang.\nKesihatan mental adalah sangat bernilai kerana dapat membantu kita menjalinkan hubungan secara positif dalam kalangan masyarakat, membangunkan komuniti, melahirkan rasa empati kepada orang lain, dan memupuk semangat kekitaan. Kesihatan mental yang sihat juga dapat membantu seseorang itu memahami dan bijak mengurus emosi atau stres, mampu menjadi fleksibel apabila berhadapan dengan perubahan, menerima pakai idea atau pendapat baharu, dan boleh membuat keputusan walaupun permasalahan yang rumit dan mencabar.\nSelain itu, kesihatan mental yang baik juga membolehkan seseorang itu menggunakan kebolehan atau kemahiran dari segi kognitif untuk mempelajari ilmu baharu, memperoleh pendapatan untuk menyara kehidupan dan membuat keputusan yang tepat seperti pemilihan makanan atau gaya hidup. Secara tidak langsung, kesihatan mental yang baik membolehkan seseorang itu untuk berdaya saing dalam mencari erti kehidupan dan menyedari akan kebolehan yang dimilikinya.\nAdalah tidak menjadi kerugian bagi mana-mana pihak untuk melabur dalam meningkatkan kualiti kesihatan mental. Hal ini kerana kesihatan mental yang tidak sihat akan membantutkan produktiviti secara tidak langsung menyumbang kepada kemerosotan ekonomi negara. Kesihatan mental yang terjaga boleh mengeratkan hubungan sosial dalam kalangan komuniti dan organisasi, keadaan sekeliling yang lebih kondusif dan positif serta boleh meningkatkan kualiti hidup masyarakat.\nAntara faktor yang mengekang seseorang itu daripada mendapatkan rawatan adalah disebabkan oleh kekangan akses kepada servis atau perkhidmatan, kurang kesedaran mengenai kesihatan mental dan penyakit mental serta stigma dan diskriminasi dalam kalangan masyarakat.\nSudah tiba masanya masyarakat membina kefahaman yang tepat mengenai kesihatan mental, masalah kesihatan mental dan penyakit mental. Perkhidmatan yang bersepadu bukan sahaja bertujuan untuk meluaskan lagi akses servis dan perkhidmatan, malah memperluas sokongan dari segi tadbir urus dan sumber kewangan. Di samping itu, pelbagai kempen perlu dipergiat dan melatih pekerja kesihatan dan ahli komuniti supaya kompeten dalam menangani isu ini. Faktor ini adalah sangat penting dalam membantu individu yang terkesan untuk mencapai kualiti hidup yang lebih bermakna.\nSebagai kesimpulannya, semua pihak berperanan untuk meningkatkan kefahaman dan memperbetul salah faham yang berlaku bermula daripada peringkat atasan hingga peringkat bawahan agar stigma tidak terus menghalang seseorang itu untuk tampil memberikan sokongan atau mendapatkan bantuan tanpa gusar dan malu. Kerjasama berkesan dan jalinan kukuh daripada pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan diperlukan bagi memastikan tiada kes yang terlepas pandang, diremehkan atau gagal dibantu apabila pihak yang terkesan dengan masalah ini tampil untuk menggunakan perkhidmatan kesihatan mental.\nDr. Rosliza Yahaya merupakan Pensyarah Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Setiausaha Persatuan Perubatan Malaysia, Cawangan Terengganu." "Kes COVID-19 di Perlis Kekal Rendah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Perlis \u2013 Negeri Perlis berjaya mengekalkan jumlah kes COVID-19 yang rendah dan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang stabil ketika tempat lain bergelut dengan peningkatan kes dan kematian COVID-19.\nKejayaan ini merupakan hasil daripada tindakan kesihatan awam Jabatan Kesihatan Negeri Perlis di bawah kepimpinan Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Sirajuddin Hashim yang strategik dengan kerja berpasukan anggota kesihatan di semua peringkat. Pelbagai pengalaman telah dilalui oleh beliau sepanjang menangani krisis kesihatan ketika berkhidmat di negeri ini sejak 7 Ogos 2018.\nPenilaian risiko dilakukan secara sistematik dan berterusan dalam memberikan analisis data yang khusus kepada punca penularan sekali gus membantu anggota barisan hadapan untuk bertindak pantas. Strategi pengawalan dan pencegahan diubah suai mengikut dapatan data tersebut walaupun ada ketikanya kelihatan seperti melawan arus berbanding dengan tempat lain, namun membuahkan formula kejayaan.\nDemikian dimaklumkan selepas Program MAIPs Peduli bersempena dengan perpisahan Dr. Sirajuddin Hashim yang telah dinaikkan pangkat ke JUSA B dan bertukar ke Perak berkuat kuasa pada hari ini.\nNegeri Perlis sangat tegas terhadap kemasukan individu dari luar yang berisiko dan mengarahkan proses kuarantin bagi memastikan risiko penularan COVID-19 kepada rakyat Perlis kekal rendah ketika negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Apabila negara memasuki Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN), penguatkuatkuasaan dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) walaupun telah terdapat kelonggaran dalam beberapa aspek.\nSeterusnya, setelah memasuki fasa peralihan ke endemik, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis terus komited dan memperkasakan komuniti untuk turut mengamalkan kebiasaan baharu dan kekal mematuhi SOP bagi mengekang COVID-19. Di samping itu, kerjasama dengan rakan strategik lain seperti Whole Government Approach (WGA) dijalinkan bagi memastikan kelestarian kejayaan dalam menangani COVID-19.\nSepanjang perkhidmatan yang telah melangkaui tempoh lebih 30 tahun, budi baik dan kemesraan rakan-rakan di negeri Perlis menjadikan penghijrahan pada kali ini begitu sukar dan amat berbeza dengan pengalaman menerima amanah baharu sebelum ini.\nMenurut beliau, segala pesanan sentiasa tersemat dalam hati sebagai inspirasi dan akan terus dijadikan sebagai pembakar semangat untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh rakyat dalam aspek kesihatan.\nSementara itu, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyampaikan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21 000 kepada 30 orang asnaf terpilih untuk diagihkan oleh amil kariah Masjid Kampung Masjid Kota Kayang.\nTurut diadakan pada malam sebelumnya pula ialah permainan bola sepak persahabatan dalam kalangan ketua jabatan negeri dan persekutuan sebagai tanda perpisahan kepada Dr. Sirajuddin Hashim di Padang New Trafford Istana Arau yang turut disertai oleh DYTM Raja Muda Perlis dan anakanda bongsu baginda, YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.\nBerangkat sama ke majlis tersebut ialah DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil." "KKM Pertingkat Survelan dan Advokasi Jangkitan Cacar Monyet\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Kesihatan (KKM) telah mempertingkat survelan dan advokasi mengenai cacar monyet berikutan pengumuman Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa jangkitan monkeypox yang berlaku pada masa ini sebagai Kejadian Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa atau Public Health Emergency Of International Concern (PHEIC).\nDalam kenyataan media oleh Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin semalam, antara tindakan yang diambil oleh KKM termasuklah memaklumkan kepada fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta akan keperluan menotifikasi kes disyaki dan disahkan sebagai cacar monyet dengan segera bagi memastikan langkah kawalan dan pencegahan dapat diambil, termasuklah mengenal pasti kontak rapat kes.\nDi samping itu, KKM juga mewujudkan survelan sentinel di beberapa buah klinik swasta dan kerajaan bagi memantau kejadian penyakit ruam atau lesi kulit.\nBagi mempertingkat kapasiti makmal yang boleh menjalankan ujian pengesanan virus cacar monyet, dua makmal telah ditambah menjadi 12 makmal yang terdiri daripada lapan makmal kerajaan dan empat makmal swasta.\nSejak 1 Mei 2022 hingga 23 Julai 2022, sebanyak 531 630 pengembara yang direkodkan tiba dari negara yang melaporkan kes cacar monyet dan aplikasi MySejahtera telah mengeluarkan\u00a0Health Alert Monkeypox\u00a0kepada pengembara ini. Sehuungan dengan itu, bagi mempertingkat survelan di pintu masuk antarabangsa negara, KKM akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), syarikat penerbangan dan agensi berkaitan termasuklah pihak Malaysian Airlines Holding Berhad.\nMenurut Menteri Kesihatan Malaysia, KKM juga akan bekerjasama dengan kementerian dan agensi lain seperti Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pelancongan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pengajian Tinggi, pihak badan bukan kerajaan dan lain-lain yang berkaitan dalam pemantauan serta pengesanan kes cacar monyet.\nKKM juga mengingatkan kepada semua fasiliti kesihatan agar peka dengan situasi semasa cacar monyet serta meningkatkan pengesanan kes dalam kalangan pesakit yang berisiko.\nPada 17 Jun 2022, sebanyak 2103 kes cacar monyet dilaporkan berlaku di 42 buah negara dengan satu kematian. Dalam tempoh kurang daripada dua bulan, bilangan kes telah meningkat kepada 16 836 kes dengan lima kematian dan melibatkan sebanyak 74 buah negara pada 22 Julai 2022.\nBerdasarkan laporan Second Meeting of the International Health Regulation 2005 (IHR) Emergency Committee Regarding the MultiCountry Outbreak of Monkeypox yang diterbitkan oleh WHO pada 23 Julai 2022, penularan virus cacar monyet pada ketika ini dilaporkan berlaku dalam kalangan gay, biseksual dan lelaki lain yang melakukan hubungan seks dengan lelaki atau individu dengan risiko tinggi jangkitan seperti pekerja seks dan transgender. Namun begitu, penyakit ini boleh juga menjangkiti ahli keluarga melalui sentuhan.\nKes cacar monyet pertama kali dilaporkan oleh WHO pada 15 Mei 2022 dan berlaku di beberapa buah negara yang bukan endemik penyakit ini. Di Malaysia, sehingga 23 Julai 2022, sebanyak sembilan kes disyaki cacar monyet telah dinotifikasi kepada KKM dan semua kes telah disahkan negatif cacar monyet." "MOSTI Memperkasa Pembangunan Teknologi Baharu dalam Industri Agrikomoditi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyatakan komitmen untuk memperkasa pembangunan teknologi baharu dalam industri agrikomoditi.\nMenurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba, MOSTI telah menganjurkan program latihan upskilling deeptech and future skills bagi membantu industri mendapatkan pekerja yang berkredibiliti dan mempunyai kemahiran kompeten selain membangunkan kapasiti pekerja menerusi pendedahan kepada keperluan sebenar industri.\nProgram ini bertujuan untuk membantu Keluarga Malaysia yang mempunyai latar belakang kemahiran sains, teknologi dan inovasi, khususnya dalam kalangan mereka yang hilang pekerjaan berikutan terkesan dengan pandemik untuk kembali bekerja dan seterusnya menjana pendapatan.\nTambah beliau lagi, penggunaan teknologi baharu dalam industri agrikomoditi juga dapat membantu mengatasi tenaga buruh selain meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos.\nAntara penyelesaian teknologi yang ditawarkan oleh MOSTI ialah penggunaan teknologi nuklear dalam penghasilan biobaja dan tiang biokomposit, teknologi nano, dron untuk penyemburan baja, dan kecerdasan buatan untuk membantu pengurusan ladang menghitung jumlah pokok dengan lebih mudah dan pantas.\nMOSTI dengan kerjasama agensi di bawahnya seperti Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) akan bekerjasama dan menyokong KPPK serta pemain industri agrikomoditi menerusi proses transformasi dan adaptasi teknologi, penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersialan teknologi.\nSyarikat korporat serta peladang dan pekebun kecil dialu-alukan untuk berinteraksi dengan agensi di bawah MOSTI dan syarikat teknologi yang disokong oleh MOSTI bagi mendapatkan bantuan serta sokongan yang disediakan.\nMalaysia International Agricommodity Expo and Summit (MIACES) 2022 yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 26 Julai 2022 hingga 28 Julai 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob melibatkan penyertaan daripada 39 buah negara dan lebih daripada 350 buah syarikat antarabangsa." "KKM Laksana Kaji Selidik Kesihatan Mulut Orang Dewasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan tinjauan kesihatan mulut orang dewasa sedang dilaksanakan yang bermula dari bulan Jun lalu hingga bulan September ini di seluruh negara.\nMenurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam, pelaksanaan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2020: Kaji Selidik Kesihatan Pergigian Orang Dewasa 2020 (NHMS 2020: NOHSA 2022) dengan kerjasama antara Program Kesihatan Pergigian KKM dengan Institut Kesihatan Umum, KKM sebenarnya telah dirancang pada tahun 2020, namun terpaksa ditangguhkan ekoran negara dilanda pandemik COVID-19.\nKaji selidik kesihatan pergigian orang dewasa kali ini merupakan yang keempat dan dijalankan secara berkala pada setiap 10 tahun.\nNHMS 2020: NOHSA 2020 dilaksanakan untuk mendapatkan data kesihatan pergigian serta bebanan penyakit pergigian dalam kalangan warganegara Malaysia. Program ini melibatkan lawatan ke rumah yang terpilih dan dijangka melibatkan sebanyak 23 ribu responden yang berumur 15 tahun dan ke atas daripada 11 300 buah rumah.\nSebanyak 65 pasukan pemeriksa telah dibentuk khusus bagi aktiviti pengumpulan data yang melibatkan temu ramah dan pemeriksaan mulut yang merangkumi pemeriksaan gigi, gusi dan lesi mulut.\nHasil dapatan yang diperoleh akan digunakan bagi menilai keberkesanan dan impak ke atas inisiatif serta program kesihatan pergigian yang telah dilaksanakan di seluruh negara.\nSelain itu, hasil dapatan ini juga akan dijadikan sebagai data garis dasar bagi Pelan Strategik Kesihatan Pergigian Kebangsaan (2022 \u2014 2030) memandangkan majoriti data kesihatan mulut sedia ada hanya diperoleh daripada penduduk yang menggunakan fasiliti KKM sahaja dan tidak mewakili keseluruhan penduduk Malaysia.\nAntara penemuan utama dalam tinjauan terakhir yang diadakan pada tahun 2010, beban penyakit pergigian adalah tinggi dalam kalangan penduduk berumur 15 tahun ke atas, iaitu sebanyak 88.9 peratus mempunyai karies pergigian, manakala 94 peratus mengalami penyakit gusi.\nKKM juga berharap agar semua pihak yang terlibat dapat memberikan kerjasama kepada pasukan pergigian yang mengunjungi rumah terpilih kelak." "Tingkatkan Kesedaran, Pulihara Alam Sekitar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Sebuah webinar yang menekankan tentang kelestarian alam sekitar berjudul Pelestarian ketika Situasi Krisis anjuran Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dengan kerjasama The Harvard Business School Alumni Club of Malaysia dan Sunway Centre for Planetary Health, Sunway University Malaysia telah diadakan secara dalam talian menerusi Facebook rasmi KASA dan saluran Astro Awani\u00a0 pada hari ini.\nWebinar ini menampilkan Ketua Setiausaha KASA, YBhg. Dato\u2019 Seri Ir. Dr. Zaini Ujang yang bertindak selaku moderator dan dua orang ahli panel berkaliber, iaitu Pengerusi Bursa Malaysia Berhad, YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Sri Abdul Wahid Omar serta Profesor dan Pengarah Eksekutif Sunway Centre for Planetary Health, YBhg. Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood.\nMenurut YBhg. Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, beliau menyokong aktiviti yang dilakukan untuk mempergiat kesedaran dalam kalangan para pelajar. Beliau juga menekankan kepentingan media sosial dalam penyebaran kesedaran tentang alam sekitar. Beliau turut menegaskan bahawa aktiviti 3R, iaitu Recycle, Reuse dan Reduce perlu sentiasa diamalkan agar alam sekitar tidak dirosakkan akibat penggunaan bahan seperti plastik. Pihak swasta juga boleh memainkan peranan dengan inisiatif mengurangkan cap kaki karbon (carbon footprint) dalam aktiviti perniagaan mereka.\nDalam sesi webinar ini, YBhg. Dato\u2019 Seri Ir. Dr. Zaini Ujang pula menekankan kepentingan environmental, social and governance (ESG) dalam dunia perniagaan. ESG merupakan set kriteria yang digunakan untuk penentuan dalam pelaburan.\nSeterusnya, YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Sri Abdul Wahid menyatakan bahawa isu perubahan iklim perlu diambil berat supaya tidak memberikan kesan berterusan. Beliau turut menekankan sebarang aktiviti perlu difikirkan impaknya kepada alam sekitar.\nPengurusan yang cemerlang perlu dipraktikkan demi menjaga kepentingan menjaga hutan sebaik mungkin supaya segala bencana dapat dielakkan.\nDemikian kenyataan daripada YBhg. Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood dan disambut baik oleh YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Sri Abdul Wahid Omar. Beliau menegaskan bahawa perlunya mekanisme memberikan ganjaran kepada pihak yang memelihara dan menjaga hutan dengan sebaik-baiknya.\nInsentif yang disediakan oleh pihak kerajaan berkenaan dengan kelestarian perlu direbut oleh entiti perniagaan. Pihak kerajaan mempunyai pelbagai geran inovasi yang perlu diberikan perhatian bagi menggalakkan aktiviti inovasi kelestarian alam sekitar dalam perniagaan.\nTambah YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Sri Abdul Wahid Omar lagi, gerakan kelestarian telah mendapat momentum yang besar dalam dunia perniagaan dan banyak sektor menyokong gerakan ini. Syarikat yang tidak mengambil endah berkenaan dengan aktiviti kelestarian akan menghadapi kesukaran untuk memasarkan produk mereka lebih-lebih lagi ke luar negara di samping terlepas beberapa peluang dalam bidang kewangan.\nSelain itu, YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Sri Abdul Wahid Omar turut menyatakan bahawa tahap kesedaran sivik dalam kalangan rakyat Malaysia lebih rendah berbanding dengan masyarakat Eropah dari segi kepenggunaan. Masyarakat Eropah sentiasa menyokong mana-mana produk yang mengamalkan kelestarian alam sekitar dalam penghasilan produk mereka, namun kesedaran untuk kalangan rakyat Malaysia masih rendah berkenaan dengan isu kelestarian alam sekitar dalam proses penghasilan sesuatu produk.\nYBhg. Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood mencadangkan agar perladangan komuniti dijalankan bagi mengatasi isu kekurangan bekalan dan nutrisi makanan. Beliau juga meminta masyarakat membuat refleksi akan kesedaran berkenaan dengan langkah kelestarian alam sekitar dalam diri sendiri dan ahli keluarga. Kerjasama daripada pihak pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat amat diperlukan bagi memastikan kelestarian alam sekitar dapat dipertingkat.\nWebinar ini diakhiri dengan deklamasi puisi Pulihkan Bumi yang disampaikan oleh YBhg. Dato\u2019 Seri Ir. Dr Zaini Ujang." "Bilakah Wabak Dianggap sebagai Ancaman Global?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nUsaha global untuk menguruskan wabak telah didokumenkan sejak \u201cwabak hitam\u201d di Eropah pada abad ke-14 yang menyebabkan sempadan dipantau untuk jangkitan. Sejak itu, beberapa peraturan telah dibangunkan dan dikembangkan untuk memantau kemunculan penyakit baharu. Tambahan pula, perhubungan antara negara di dunia semakin meningkat melalui perjalanan dan perdagangan.\nWabak epidemik merujuk corak pertumbuhan eksponen tertentu dalam jangkitan yang melebihi jangkaan biasa dalam jangka masa yang singkat (beberapa hari atau minggu). Epidemik mempunyai kesan yang mengganggu dan memerlukan perhatian segera.\nSetiap kali terdapat wabak penyakit di dunia seperti cacar monyet, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) perlu mempertimbang jenis pemberat yang perlu diberikan, termasuklah sama ada wabak tersebut merupakan kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan pada tahap antarabangsa atau tidak.\nTerdapat banyak penyakit yang boleh menyerang sebilangan besar orang ramai. Tetapi tidak semua penyakit dianggap kecemasan kesihatan awam. Keseriusan wabak ialah fungsi kepada beberapa faktor. Hal ini termasuklah tahap kejangkitan dan potensi penyebaran pantas, keterukan jangkitan, kadar kematian kes, ketersediaan vaksin atau rawatan, kesan ke atas perjalanan dan perdagangan serta konteks sosioekonomi.\nPengisytiharan kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa oleh WHO mencetuskan beberapa perkara. Yang pertama hal ini menandakan komitmen untuk menyediakan sumber antarabangsa sebagai tindak balas. Sementara itu, pengisytiharan tersebut membolehkan peruntukan lain digunakan dalam Peraturan Kesihatan Antarabangsa.\nHal ini berasal daripada Peraturan Sanitari Antarabangsa pada pertengahan tahun 1900-an yang digunakan untuk mengawal wabak kolera. Ketika itu, terdapat peningkatan kesedaran tentang kesan sosial dan ekonomi penyakit wabak yang merentas sempadan, serta kebimbangan mengenai gangguan yang tidak wajar terhadap perdagangan.\nPada tahun 1969, peraturan tersebut dinamakan semula sebagai Peraturan Kesihatan Antarabangsa oleh WHO dan kemudiannya diubah suai pada tahun 1973 dan tahun 1981. Peraturan ini menyediakan rangka kerja untuk tiga penyakit sahaja, iaitu taun, demam kuning dan wabak. Prinsip dalam rangka kerja ini ialah keselamatan maksimum terhadap penyebaran penyakit antarabangsa dengan gangguan minimum terhadap lalu lintas dunia.\nPada tahun 1995 pula, semakan rasmi dimulakan untuk meluaskan skop peraturan dengan enam kategori cadangan sindrom yang boleh dilaporkan, iaitu sindrom demam berdarah akut; sindrom pernafasan akut, sindrom cirit-birit akut; sindrom jaundis akut; sindrom neurologi (neurological ) akut; dan sindrom lain .\nDi samping itu, lima faktor telah dicadangkan untuk menentukan sama ada sekumpulan sindrom tersebut bersifat \u201cmendesak\u201d dan mempunyai kepentingan antarabangsa. Hal ini termasuklah penularan pantas dalam komuniti, nisbah kematian kes yang tinggi tanpa diduga, sindrom yang baru dikenali, profil politik dan media yang tinggi serta sekatan perdagangan atau perjalanan.\nSemakan terakhir terhadap peraturan itu dilakukan pada tahun 2005 berikutan wabak SARS yang melanda dunia pada tahun 2003. Lima perubahan substantif daripada versi terdahulu ialah:\nPeraturan menetapkan cara kecemasan akan diuruskan. Hal ini termasuklah menubuhkan senarai pakar yang dilantik oleh Ketua Pengarah WHO dalam semua bidang kepakaran yang berkaitan. Kemudian, jawatankuasa kecemasan akan diambil daripada senarai ini untuk mendapatkan nasihat. Jawatankuasa itu perlu memutuskan tentang pelbagai isu yang berkaitan dalam menguruskan wabak.\nKebanyakan masalah kecemasan global bukanlah masalah kesihatan yang khusus, tetapi hal ini juga berkaitan dengan masyarakat sivil, pelibatan masyarakat, undang-undang dan ketenteraman serta kawalan sempadan. Sebagai contohnya, wabak Ebola yang melanda dunia pada tahun 2014, asukan promosi kesihatan telah dibunuh beramai-ramai di Guinea kerana penduduk tempatan takut orang luar datang ke kampung mereka. Semasa wabak COVID-19, kita juga menyaksikan pergolakan awam di beberapa buah negara.\nSemua isu ini menjadi pertimbangan WHO apabila memutuskan sama ada untuk mengisytiharkan sesuatu wabak itu sebagai kecemasan kesihatan awam yang menjadi perhatian antarabangsa. Persekitaran keganasan, konflik dan kekurangan kepercayaan yang mengelilingi wabak semasa sudah pasti akan menjadi sebahagian daripada perbincangan jawatankuasa pakar WHO. Selain itu, hal ini juga menyerlahkan kepentingan pemerkasaan dan mobilisasi komuniti akar umbi, pelibatan pemimpin tempatan, sensitiviti budaya dan komunikasi risiko dalam tindak balas kepada sesuatu wabak.\n\u00a0\nAzizi Ahmad ialah mantan pendidik." "Malaysia Bakal Terima Manfaat dalam Industri Grafit dan Grafin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kerjasama antara Graphjet Technology Sdn. Bhd (Graphjet) dengan Toyoda Trike Corporation (Toyoda) dan Asia Development Capital Ltd. dalam industri grafit dan gratin bakal memberikan manfaat yang besar buat Malaysia.\nMenurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, pemasaran grafin yang dihasilkan oleh Graphjet mempunyai potensi untuk membekalkan kepada syarikat produk grafin tempatan di bawah program Graphenovation.\nDalam jangka masa panjang, Malaysia boleh menjadi satu daripada pengeksport grafin di dunia selain menjadi penggalak kepada syarikat yang ingin memanfaatkan potensi besar grafin untuk melabur di Malaysia.\nYB Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba semalam telah menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Graphjet dengan Toyoda dan Asia Development Capital Ltd. di Hotel The Majestic.\nMenerusi MoU tersebut, Toyoda yang merupakan sebuah syarikat terkemuka dari Jepun dan terkenal di peringkat antarabangsa telah diberikan hak eksklusif untuk mengedarkan grafit dan grafin yang dihasilkan Graphjet di Jepun.\nKerjasama ini juga dilihat mampu mempromosikan bahan grafin buatan Malaysia setelah melihat kepada rekod prestasi Toyoda yang kukuh dan Jepun sebagai satu daripada hab utama industri automatif.\nSyarikat Graphjet telah memulakan pendekatan yang inovatif untuk menghasilkan grafin daripada isirung kelapa sawit. Teknologi yang dipatenkan ini merupakan penyelesaian yang akan memajukan pembangunan grafin.\nTeknologi yang menggunakan isirung sawit sebagai bahan utama dalam penghasilan grafin ini juga memberikan kelebihan kepada Malaysia untuk membekalkan bahan mentah dalam penghasilan grafin memandangkan Malaysia merupakan antara pengeluar kelapa sawit terbesar dunia.\nBeliau juga berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut menyarankan Graphjet agar menjalin kerjasama dengan NanoMalaysia Berhad (NMB), terutamanya dalam rantaian bekalan dan pembangunan produk hiliran dan aplikasi dengan grafin serta mendapatkan pensijilan GrapheneVerify untuk produk bagi mengukuhkan kehadirannya dengan pengiktirafan domestik dan antarabangsa.\nGrapheneVerify merupakan program di bawah NonaVerify Sdn. Bhd. (NVSB), sebuah syarikat milik penuh di bawah NMB, iaitu agensi di bawah MOSTI untuk menggalakkan penyertaan pemain grafin Malaysia dalam ekonomi grafin global yang dianggarkan berjumla AS$267 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.\nDalam Rancangan Malaysia Ke-11, NMB telah diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan Pelan Tindakan Graphene Kebangsaan 2020 (NGAP2020). Sehingga kini, sebanyak 61 projek telah diaktifkan dan 40 harta intelek telah difailkan melibatkan 50 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan termasuklah syarikat pemula yang juga mencipta lebih 15 ribu peluang pekerjaan kepada Keluarga Malaysia." "Serpihan Objek di Sarawak Dikesan Tiada Radiasi dan Unsur Radioaktif\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyatakan bahawa berdasarkan siasatan awal yang dilakukan, tiada sebarang radiasi atau unsur radioaktif dikesan pada dua objek yang disyaki sisa serpihan roket China yang jatuh dan ditemukan di Sarawak baru-baru ini.\nMOSTI memaklumkan perkara itu telah disahkan oleh pasukan siasatan awal dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan yang melakukan siasatan terhadap dua objek yang dijumpai di Kampung Kuala Nyalau, Bintulu dan Kampung Sepupok Lama, Niah, Miri, Sarawak.\nEmpat orang pegawai Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) Bintulu bersama-sama Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bintulu telah menjalankan siasatan di lokasi berkenaan.\nBerdasarkan ukuran dan hasil siasatan awal di Bintulu telah mendapati bahawa objek pertama yang disyaki bersaiz sekitar lima inci tersebut tidak mengeluarkan sebarang radiasi dan tiada unsur radioaktif, manakala ukuran dan hasil siasatan awal terhadap objek kedua yang disyaki di Batu Niah, Miri juga menunjukkan hasil yang sama.\nDemikian kenyataan yang dikeluarkan oleh MOSTI. Hal ini bermakna kedua-dua objek tersebut adalah selamat untuk dijalankan siasatan dan analisis selanjutnya.\nMOSTI melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dengan kerjasama Jabatan Kimia Malaysia akan menjalankan siasatan terperinci terhadap kedua-dua objek yang ditemukan itu bagi menentukan sama ada objek tersebut mempunyai kaitan dengan insiden kemasukan semula serpihan roket Long March 5B milik negara China ataupun tidak.\nHasil siasatan dan analisis akan dimaklumkan kemudian dan tindakan sewajarnya akan dipertimbang selaras dengan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834) dan triti antarabangsa berkaitan dengan angkasa di bawah kendalian United Nations Office for Outer Space Affairs (UNOOSA).\nSementara itu, dalam satu kenyataan daripada Agensi Angkasa China mendapati bahawa kemasukan semula serpihan roket Long March 5B milik negara China dikesan pada pukul 12.55 pagi, 31 Julai 2022 waktu Malaysia. Sisa serpihan tersebut direkodkan telah jatuh di sekitar Laut Sulu, iaitu kawasan di antara latitud 9.1 darjah utara dengan longitud 119.0 darjah timur." "Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Majlis Perasmian Kursus Bahasa Melayu dan Kelas Pertama anjuran Perusahaan Otomobil Nasional Sendirian Berhad (PROTON), telah diadakan pada pukul 5.30 petang semalam secara dalam talian. Majlis ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Puan Salawati Mohd Yusoff (Ketua PROTON Group Communications), Encik Amran Mohd Tomin (Pengarah Kanan, Human Capital of PROTON), YBrs. Dr. Li Chunrong (Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PROTON) dan YBhg. Dato\u2019 Goh Hin San, iaitu Presiden Persatuan Kebudayaan Han Malaysia, yang juga Presiden Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF).\nKursus anjuran PROTON ini merupakan antara inisiatif yang cukup baik yang dirancang dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia. Sehubungan dengan itu, Kursus Bahasa Melayu ini merupakan yang julung-julung kalinya diadakan kepada pelabur China yang melabur di PROTON,\u00a0 mencatatkan era baharu dalam sejarah perkembangan bahasa Melayu di Malaysia.\nMenurut YBhg. Dato\u2019 Goh Hin San, Pusat Kebudayaan Han Malaysia diberi tugas untuk mengelolakan buku teks, tenaga pengajar dan latihan kepada pelabur dan pakar asing dari negara China. Kursus ini yang diadakan ini diharapkan dapat menjadi satu teladan kepada semua pelabur asing yang datang ke Malaysia untuk belajar bahasa kebangsaan negara, iaitu bahasa Melayu. \nMenurut beliau, kursus ini penting untuk memberikan pendedahan\u00a0 kepada para pelabur tentang bahasa Melayu yang berfungsi sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi dan bahasa perpaduan yang diperjuangkan selama ini.\nWalaupun kursus ini tidak melibatkan peserta yang banyak, iaitu hanya 21 orang tetapi implikasi dan maknanya sangat besar bagi saya. Saya juga telah mendapat sokongan daripada Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran atas usaha dan penganjuran kursus ini oleh PROTON.\nTambah beliau lagi, kursus ini merupakan inisiatif PROTON, khususnya YBrs. Dr. Li Chunrong yang mengumpulkan pakar mereka untuk belajar bahasa Melayu. Melalui kursus ini, para peserta atau pelabur diharapkan dapat mempelajari bahasa Melayu secara lebih sistematik seperti konsonan dan perkataan harian yang mudah supaya mereka dapat bertutur dan memahami bahasa Melayu dengan cepat. Selain itu, kemahiran berbahasa Melayu ini juga penting bagi pelabur untuk berkomunikasi dengan semua kakitangan PROTON dan juga dengan masyarakat Malaysia." "Sinergi Sains Islam dan STEM Semarakkan Minggu Sains Negara 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSubang Jaya \u2013 Sesi ceramah interaktif dengan tajuk \u201cSains Islam dan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM)\u201d telah dikongsikan oleh Dr. Mohammaddin Abdul Niri, Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (JFU, APIUM) bersama-sama warga Sekolah Rendah Islam Darul Ehsan (SRIDE) pada 4 Ogos 2022 bersempena dengan Minggu Sains Negara 2022.\nCeramah terbabit merupakan satu daripada pengisian Minggu STEM yang dianjurkan oleh SRIDE dan dijayakan oleh Pasukan Aljawi dan Falak JFU APIUM, Makmal Fizik Angkasa, Jabatan Fizik Fakulti Sains Universiti Malaya (UM) dan Pusat STEM UM.\nSepanjang sesi ceramah, para peserta telah diperkenalkan dengan peranan kitab suci al-Quran yang bukan sahaja menjadi pedoman dalam hukum akidah, hukum Fiqh dan hukum akhlak, tetapi juga memberikan petunjuk dalam uji kaji sains. Hal ini bermakna pengkajian saintifik terhadap alam tabii dari sebesar-besar alam semesta, kemudiannya jasad samawi sehinggalah makhluk Allah SWT, yakni sekecil-kecil mikroorganisma dan zarah, kesemuanya telah dipandu dalam al-Quran dengan pandangan sarwa (worldview) yang jelas, iaitu bagi meyakini zat Allah SWT Yang Maha Esa, Yang Maha Suci, Yang Maha Kuasa sebagai Tuhan yang mentadbir seluruh jagat raya. Kemudian, pandangan sarwa itu hendaklah disempurnakan dengan ketaatan melaksanakan segala perintah-Nya, meninggalkan larangan-Nya dan berakhlak baik mengikuti rasul-Nya, iaitu Nabi Muhammad SAW.\nPada masa ini, kesempurnaan pandangan sarwa terbabit dan segala manfaatnya akan menjadi lebih mudah dikongsikan dan memberikan kebaikan buat manusia dan alam sejagat apabila dibantu dengan penguasaan kemahiran STEM. Penguasaan itu haruslah dipupuk bermula daripada peringkat asas yang melibatkan kemahiran menghitung dan menaakul sehinggalah peringkat lanjutan seperti kemahiran penyelesaian masalah secara empirikal dan kemahiran komputasional.\nDengan menguasai kemahiran tersebut, bentuk pengoperasian sains Islam yang bersifat semasa dan mengatur gerak integrasi ilmu wahyu dan ilmu akal serta uji kaji saintifik dapat dipugar kembali bagi menyambung kecemerlangan tokoh ilmuan Islam silam dalam bidang sains dan teknologi. Ketokohan dua orang cendekiawan sains Islam, iaitu Ibn al-Haytham dan Ismail al-Jazari telah dikongsikan oleh penceramah sebagai sumber inspirasi STEM.\nIbn al-Haytham merupakan tokoh sains Islam abad ke-10 yang terkenal dengan sumbangannya dalam bidang sains cahaya dan optik. Di Barat, namanya cukup masyhur dikenali sebagai Alhazen dan karya agungnya Kitab al-Manazir telah diterjemahkan ke bahasa Latin dengan judul De Aspectibus or Perspectiva. Reka ciptanya yang cukup diingati hingga kini ialah kamera lubang jarum. Menurut Profesor Jim al-Khalili, tidak dapat disangkal bahawa Ibn al-Haytham merupakan Bapa Optik Moden dan sebenarnya turut dirujuk sebagai Bapa Saintifik Moden meskipun terdapat dakwaan lain yang menyatakan bahawa kaedah saintifik hanya ditemukan pada abad ke-17 oleh Francis Bacon and Rene Descartes.\nWalau bagaimanapun, Ibn al-Haytham jelas merupakan tokoh cendekiawan serba pengetahuan (polymath) yang menguasai bidang agama dan pelbagai disiplin sains. Keunggulan sumbangannya dalam bidang sains khususnya dalam bidang fizik, astronomi dan matematik telah menjadi rujukan dan memberikan impak selama ratusan tahun dalam kalangan tokoh sains terkemuka di Eropah seperti Nicolaus Copernicus, Galileo Galilei, Johannes Kepler dan Sir Isaac Newton.\nTokoh kedua yang dikongsikan sebagai sumber inspirasi STEM ialah Ismail al-Jazari, tokoh jurutera Islam abad ke-12. Sebagaimana Ibn al-Haytham, beliau juga serba pengetahuan dan dikenali sebagai Bapa Robotik. Kecemerlangannya dalam kejuruteraan mekanik jelas terpapar menerusi karyanya berjudul Kitab fi Ma\u2019rifat al-Hiyal al-Handasiyya yang mengandungi penjelasan 50 alatan mekanik dan panduan membinanya.\nSatu daripada hasil reka ciptanya dalam robotik ialah automaton muzik berbentuk sebuah bot yang dinaiki empat pemuzik automatik yang terapung di tasik untuk menghiburkan tetamu semasa pesta minum diraja. Menurut Profesor Noel Sharkey, kemungkinan besar reka cipta terbabit merupakan automata terprogram yang terawal. Sebagai perbandingan, terdapat dakwaan menyatakan bahawa automata teraturcara tertua di dunia ialah mesin yang dibina oleh Leonardo da Vinci pada tahun 1478.\nYang pasti, hakikat ilmiah yang tidak dapat dinafikan ialah berlakunya transmisi ilmu pengetahuan sains dan teknologi dari tamadun Islam ke Eropah, terutamanya semasa era Andalusia di Sepanyol. Demikian juga faktor perkembangan sains dan teknologi di Eropah adalah terhasil daripada interaksi dan pertembungan peradaban antara Islam dan Barat.\nSelain daripada sorotan ketokohan Ibn al-Haytham dan Ismail al-Jazari sebagai sumber inspirasi STEM, penceramah turut berkongsi konsep asas penghitungan kalendar Islam serta konsep asas cahaya dan sifatnya. Kuiz bertulis juga dilaksanakan dan melibatkan sebanyak 320 penyertaan yang terdiri daripada peserta dewasa dalam kalangan guru dan murid sekolah SRIDE.\nPengisian Minggu STEM anjuran SRIDE turut mengandungi tiga sesi ceramah bertemakan sains angkasa. Sesi ceramah pertama bertajuk \u201cMakhluk Allah Si Matahari\u201d oleh Dr. Nazhatulshima Ahmad, Pensyarah Kanan, Makmal Fizik Angkasa Jabatan Fizik Fakulti Sains UM. Sesi ceramah kedua diteruskan oleh Dr. Nurulhuda Ahmad Zaki, Pensyarah Kanan, JFU, APIUM dengan tajuk \u201cWaktu Solat Dalam Astronomi\u201d \u00a0dan diteruskan oleh Dr. Mohd Hafiz Mohd Saadon, Pensyarah Kanan, JFU, APIUM dengan tajuk \u201cBulan, Bintang dan Galaksi\u201d.\nSementara itu, ucapan penutupan telah disempurnakan oleh Guru Besar SRIDE, Puan Hjh. Kamariah Nasir pada akhir majlis." "Kitosan sebagai Pilihan dalam Bidang Pertanian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBiopolimer ialah polimer yang dihasilkan daripada sumber semula jadi, sama ada disintesis secara kimia daripada bahan biologi ataupun dibiosintesis sepenuhnya oleh organisma hidup. Kebimbangan terhadap masalah sisa alam sekitar yang disebabkan oleh bahan berasaskan polimer petrokimia yang tidak boleh terbiodegradasi telah menyebabkan pengguna mencari alternatif lain yang boleh terbiodegradasi dan terdiri daripada sumber yang boleh diperbaharui.\nHal ini adalah selaras dengan Dasar Teknologi Hijau Negara yang menggariskan arah tuju kepada pembangunan mampan dan bersepadu bagi memulihara sumber asli untuk generasi pada masa ini dan masa hadapan. Satu daripada contoh sumber biopolimer semula jadi yang giat dikaji adalah daripada selulosa dan protein yang dikatakan setanding dengan biopolimer daripada sumber petrokimia.\nSejak kebelakangan ini, kesedaran tentang penggunaan biopolimer semula jadi dalam sains semakin meningkat. Hal ini disebabkan oleh kelebihan biopolimer yang meluas yang meliputi kebolehan biocompatibility dan biodegradasi. Kelebihan tambahan juga dilihat dari segi kesediaan biopolimer diubah suai kepada pelbagai terbitan secara kimia untuk kegunaan spesifik.\nKitin ialah biopolimer semula jadi kedua terbanyak selepas selulosa. Kitin ialah biopolimer berstruktur yang terdapat di dalam komponen dinding sel kulat dan komponen rangka krustasea. Penemuan kitosan dilaporkan pada sekitar tahun 1811 apabila kitin ditemui oleh Henri Braconnot, yang merupakan pengarah Taman Botani di Akademi Sains di Nancy, Perancis.\nSumber komersil kitin kebanyakannya diperoleh daripada ketam, udang dan kulat yang kebanyakannya terbuang dalam industri makanan laut. Cangkerang krustasea terdiri daripada protein, kalsium karbonat, kalsium fosfat dan kitin. Satu daripada terbitan penting kitin ialah kitosan.\nSecara umumnya, perbezaan antara kitin dengan kitosan adalah berdasarkan tahap asetilasi. Kitin mempunyai tahap asetilasi melebihi 50 peratus, manakala kitosan mempunyai peratusan yang lebih rendah. Apabila dibandingkan, kitosan lebih berfungsi daripada kitin disebabkan oleh kumpulan berfungsi amino di sepanjang rantaian polimer. Rantaian kitosan terdiri daripada kopolimer \u03b2-(1\u21924)-2-unit acetamido-D-glukosa dan \u03b2-(1\u21924)-2-amino-D-glukosa. Kitosan secara struktur adalah serupa dengan selulosa yang hidroksil pada karbon-2 telah digantikan oleh acetamido atau kumpulan amino.\nBerat molekul, sifat fizikokimia dan biologi serta ketulenan kitosan yang diekstrak sangat dipengaruhi oleh sumber kitosan dan kaedah pengekstrakan. Kini, terdapat pelbagai cara pengekstrakan kitosan daripada sumber cangkerang krustasea yang mesra alam, mengurangkan kos dan kesan kepada alam sekitar serta mampu menghasilkan kitosan dengan ketulenan yang tinggi. Ciri utama kitosan termasuklah tidak bersifat toksik kepada manusia, haiwan dan tumbuhan, hemostatik, keupayaan membentuk filem, penjerapan yang mantap, antibakteria dan antioksida. Semua ciri ini menjadikan kitosan sebagai komponen yang menarik dan selamat untuk digunakan dalam pelbagai aplikasi bidang pertanian.\nDalam bidang pertanian, kitosan berguna sebagai matriks pelepasan kawalan sesuatu bahan. Kitosan merupakan polimer yang sesuai untuk aplikasi enkapsulasi kerana permukaan kumpulan berfungsinya yang berasaskan amino merentangi struktur rantaian. Kefungsian kitosan disebabkan oleh kehadiran kumpulan hidroksil dan amino di sepanjang rantaian molekul kitosan membolehkannya mengikat pelbagai jenis molekul organik dan bukan organik untuk pelepasan kawalan.\nPelepasan kawalan ditakrifkan sebagai pemindahan terkawal resapan bagi bahan aktif daripada takungan ke permukaan yang disasarkan untuk mengekalkan tahap kepekatan yang telah ditetapkan dalam tempoh masa tertentu. Matriks pelepasan kawalan boleh mengekalkan pembebasan sebatian aktif untuk masa yang lebih lama.\nPembajaan tanah merupakan amalan biasa dalam pertanian untuk membekalkan makronutrien dan mikronutrien untuk tanaman meningkatkan hasil dan kualitinya. Walau bagaimanapun, penggunaannya yang berlebihan boleh mengakibatkan pencemaran alam sekitar dan ketidakseimbangan pH tanah.\nKitosan mikro atau nanopartikel dan hidrogel telah dikaji sebagai strategi untuk meningkatkan kecekapan baja, mengurangkan pencemaran tanah dan menggalakkan pembebasan lestari molekul ini ke dalam tanah. Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, nitrogen, kalium, fosfat, kuprum, zink, dan vitamin menjadi tumpuan dalam banyak kajian.\nDalam satu kajian, baja nano NPK disediakan dengan memuatkan nitrogen (N), fosforus (P) dan kalium (K) ke dalam zarah nano kitosan. Nanopartikel kitosan telah disediakan melalui penggelan ionik tripolifosfat dan larutan kitosan. Baja nano ini telah digunakan kepada anak benih kopi dalam keadaan rumah hijau. Keputusan menunjukkan bahawa baja nano ini meningkatkan penyerapan nutrien, fotosintesis dan pertumbuhan tumbuhan kopi. Penggubahan kitosan kepada saiz nano membolehkan nutrien memasuki stomata daun dan seterusnya sampai kepada pucuk dan akar lalu memperbaik pertumbuhan tumbuhan.\nKitosan juga boleh diubah suai menjadi filem hidrogel sebagai aplikasi pelepasan kawalan baja menurut satu kajian daripada Iftime pada tahun 2019. Kajian tersebut menunjukkan bahawa hidrogel menunjukkan keupayaan untuk secara beransur-ansur melepaskan beban bahan dalam persekitaran melalui penyerapan air. Hidrogel kitosan juga berkeupayaan menyerap air dan meningkatkan kapasiti pegangan air dalam tanah. Pembebasan urea daripada hidrogel kitosan dikesan secara perlahan selama 23 hari sehingga kesemua urea dibebaskan. Selain itu, penambahan nitrogen dalam tanah meningkatkan pertumbuhan pokok tomato sebanyak 70 peratus jika dibandingkan dengan tanah yang tidak dirawat.\nSelain digunakan dalam teknik pembajaan, kitosan juga mampu dijadikan sebagai agen penghantaran bahan genetik seperti asid deoksiribonukleik (DNA), asid ribonukleik (RNA) dan protein kepada sel tumbuhan. Kitosan berpotensi sebagai penghantaran gen dan transformasi tumbuhan kerana keupayaannya untuk membentuk kompleks dengan bahan genetik bercas negatif melalui interaksi elektrostatik. Namun, kajian ini masih pada tahap awal, terutamanya dari segi keselamatan sisipan genetik dan interaksi gen tumbuhan dengan kitosan.\nKajian penting yang diterbitkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan potensi kitosan untuk digunakan dalam formulasi racun rumpai dan racun perosak. Kawalan pelepasan racun rumpai dan racun perosak melalui kitosan juga mengurangkan ketoksikan dan kesan genotoksik pada tanah dan mikrobiotanya seiring dengan kecekapan herbisida yang lebih tinggi. Sistem untuk pelepasan perlahan dan pelepasan terkawal boleh merevolusikan kaedah pengurusan pertanian, menawarkan keselamatan yang lebih tinggi kepada petani semasa peringkat penyemburan dan membolehkan pengecaman tisu sasaran.\nWalaupun penggunaan kitosan dalam bidang pertanian sebagai agen pelepasan kawalan masih di peringkat awal. Lebih banyak produk baharu berasaskan kitosan perlu dibangunkan untuk menyokong pembangunan mampan demi kepentingan alam sekitar. Kitosan boleh dijadikan sebagai pilihan yang berdaya maju untuk pengusahaan tanaman demi meningkatkan keselamatan makanan bagi populasi global yang semakin meningkat.\n\u00a0\nDr. Melody Kimi ialah pensyarah di Pusat Pengajian Pra-Universiti, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)." "Malaysia Tandatangani Dua Perjanjian Angkasa Lepas Antarabangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Malaysia telah menandatangani dua daripada lima perjanjian atau konvensyen angkasa lepas antarabangsa berkaitan dengan angkasa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi melindungi dan menjaga keselamatan serta kedaulatan negara.\nBerdasarkan kenyataan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dua perjanjian atau konvensyen yang ditandatangani tersebut ialah Treaty on Principles Governing the Activities of States in the Exploration and Use of Outer Space, Including the Moon and Other Celestial Bodies, 1967 (OST 1967) dan Agreement on the Rescue of Astronauts, the Return of Astronauts and the Return of Objects Launched into Outer Space, 1968 (ARRA 1968).\nProses meratifikasi atau menganggotai kesemua perjanjian atau konvensyen itu sedang dipertimbang selaras dengan kepentingan negara.\nMenurut MOSTI, keanggotaan Malaysia dalam Pertubuhan United Nation-Committee on the Peaceful Uses of Outer Space (UNCOPUOS) sejak tahun 1994 menunjukkan komitmen negara untuk melaksanakan tanggungjawabnya dalam sektor angkasa pada peringkat antarabangsa.\nKomitmen Malaysia telah dibuktikan melalui pewartaan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834) yang membolehkan kerajaan melalui MOSTI mempertimbang tindakan yang perlu dilakukan bagi meratifikasi kesemua perjanjian atau konvensyen antarabangsa tentang angkasa selaras dengan keutamaan dan kepentingan negara.\nSementara itu, terdapat tiga lagi perjanjian atau konvensyen antarabangsa berkaitan dengan angkasa yang belum ditandatangani, iaitu Convention on International Liability for Damage Caused by Space Objects, 1972 (LIAB 1972), Convention of Registration of Objects Launched into Outer Space, 1975 (REG 1975) dan Agreement Governing the Activities of States on the Moon and Other Celestial Bodies, 1979 (MOON 1979)." "Bahana Asap Rokok Sekunder\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerokok pasif merujuk seseorang yang tidak merokok tetapi menghidu atau menyedut asap rokok yang dihasilkan oleh perokok aktif tanpa disedari. Apabila perokok aktif merokok, asap yang terhasil akan dilepaskan ke udara. Asap ini boleh berada di udara selama dua jam atau lebih dalam sesuatu ruang walaupun tingkap sudah dibuka.\nPerkara yang paling penting untuk diketahui ialah walaupun kita tidak melihat atau menghidu asap rokok, tidak semestinya asap rokok itu tidak ada lagi di kawasan tersebut. Asap rokok juga boleh \u201ckekal\u2019 di dalam rumah dan melekat di permukaan makanan, mainan, perabot dan pakaian. Sesiapa yang terdedah kepada asap ini melalui sentuhan permukaan, mereka dikenali sebagai perokok tertier (thirdhand smoker).\nKajian membuktikan bahawa merokok bukan sahaja menyebabkan kesan sampingan ke atas diri perokok itu sendiri, malah orang sekeliling juga berisiko untuk mendapat pelbagai penyakit akibat menyedut asap rokok. Asap rokok mengandungi lebih daripada tujuh ribu bahan kimia dan sesetengahnya merupakan bahan karsinogenik atau dikenali sebagai bahan yang boleh menyebabkan kanser.\nAntara kesan sampingan asap rokok kepada perokok atau perokok pasif ialah risiko untuk mendapat penyakit jantung koronari pada usia muda, lemah paru-paru dan penyakit angin ahmar atau strok.\nWanita dan kanak-kanak merupakan mangsa utama kepada pendedahan asap rokok, terutamanya di kawasan awam. Kesan sampingan bagi perokok pasif yang utama kepada wanita dan kanak-kanak ialah serangan asma yang berlaku secara kerap dan teruk.\nKita perlu sedar bahawa tiada tahap yang selamat bagi pendedahan kepada asap rokok. Oleh sebab itu, kebanyakan kerajaan di serata dunia mengambil tindakan melindungi rakyatnya daripada bahana asap rokok sekunder. Walau bagaimanapun, tindakan yang diambil adalah menjurus kepada mewartakan kawasan larangan merokok di tempat kerja ataupun di tempat awam.\nDi Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mewartakan tempat makan di seluruh negara sebagai kawasan larangan merokok yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2019 dengan penguatkuasaan pendidikan selama dua belas bulan dan diikuti dengan penguatkuasaan penuh bermula 1 Januari 2020.\nDengan melarang perokok daripada merokok di kawasan tersebut, kajian mendapati bahawa telah berlakunya pengurangan dari segi bilangan pesakit yang dirawat di hospital akibat penyakit jantung dan asma. Diharapkan juga langkah penguatkuasaan yang telah diambil oleh pihak berwajib dapat membantu melahirkan generasi yang lebih sihat dan bebas dari sebarang bentuk amalan merokok.\n\u00a0\nDr. Iskandar Mirza Amran ialah Pakar Kardiologi di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.\u00c2" "Yang di-Pertuan Agong Berkenan Merasmikan Institut Kesihatan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Institut Kesihatan Negara (NIH) semalam. Majlis perasmian ini julung-julung kali diadakan oleh NIH sejak memulakan operasinya pada tahun 2020\nDalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), NIH ditubuhkan untuk memastikan kolaborasi dan penyelidikan dalam bidang kesihatan berjalan dengan lancar. Antara peranan lain NIH termasuklah mengenal pasti keutamaan penyelidikan, menjalankan penyelidikan dan menggunakan hasil penyelidikan untuk perkhidmatan dan program kesihatan.\nSebelum ini, terdapat enam institusi penyelidikan dan sekretariat di bawah KKM yang kemudiannya digabungkan menjadi satu organisasi penyelidikan yang dikenali sebagai NIH pada tahun 2019.\nNIH merangkumi enam institut dan dua pejabat, iaitu Institut Penyelidikan Perubatan, Institut Kesihatan Umum; Institut Penyelidikan Klinikal; Institut Pengurusan Kesihatan; Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan; Institut Penyelidikan Tingkahlaku Kesihatan serta Pejabat Pengurus; dan Pejabat Pendaftar.\nKeberangkatan baginda diiringi oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah; Ketua Setiausaha KKM, Datuk Harjeet Singh; dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.\n\u00a0\n(Sumber foto: Facebook KKM)" "Menggantikan Arang Batu dengan Sumber Tenaga Boleh Diperbaharui bagi Penjanaan Elektrik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArang batu masih menjadi sumber utama bagi penjanaan tenaga elektrik di seluruh dunia. Malaysia juga tidak terkecuali dalam hal ini. Sudah berdekad lamanya, Malaysia bergantung pada sumber arang batu untuk menjana elektrik di seluruh negara. Malaysia membeli sebahagian besar sumber arang batu dari Indonesia (63 peratus), Australia (24 peratus), Rusia (11 peratus), dan Afrika Selatan (dua peratus). Suatu ketika dahulu, arang batu dihasilkan di Batu Arang, Selangor. Kini, Sarawak merupakan satu-satunya tempat arang batu dilombong di Malaysia.\nArang batu ialah sejenis bahan enapan hitam mudah terbakar yang terdiri daripada\u00a0karbon\u00a0berserta unsur lain seperti hidrogen, sulfur, oksigen dan nitrogen. Sifatnya yang mudah terbakar menjadikan arang batu digunakan dengan meluas sebagai bahan bakar, terutamanya untuk menjana elektrik. Arang batu dianggap sebagai sumber tenaga tidak boleh diperbaharui kerana bahan ini memakan masa jutaan tahun untuk terbentuk.\nWalau bagaimanapun, pembakaran arang batu banyak mendatangkan risiko kepada persekitaran dan manusia. Pembakaran arang batu turut membebaskan karbon dioksida yang menyumbang kepada perubahan iklim. Dari sudut kesihatan pula, antara risiko pembakaran arang batu termasuklah pencemaran udara yang boleh menjejaskan sistem pernafasan. Sehubungan dengan itu, sudah sampai masanya tumpuan dan komitmen kerajaan Malaysia diberikan kepada usaha penjanaan elektrik yang lebih bersih.\nSebagai rekod, Malaysia mempunyai empat loji arang batu dengan penggunaan teknologi super ultracritical. Empat loji tersebut ialah Stesen Loji Janakuasa Elektrik Manjung 4 dan 5 di Perak, Stesen Loji Janakuasa Elektrik Tanjung Bin Energy di Johor dan Stesen Loji Janakuasa Elektrik Jimah East Power di Negeri Sembilan.\nKesemua loji tersebut mempunyai reka bentuk moden yang bergantung pada suhu dan tekanan air yang amat tinggi bagi membolehkan pembakaran arang batu bagi setiap MW/jam. Hal ini membolehkan loji tersebut menghasilkan kecekapan yang lebih tinggi sehingga 40 peratus dengan pelepasan karbon dan bahan lain yang lebih rendah dengan lebihan sedikit sisa.\nSementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga sedang meneroka daya maju loji arang batu sedia ada yang lain dalam usaha mempercepat proses peralihan kepada tenaga bersih seperti penyerapan, penggunaan atau penyimpanan karbon dan bagi memperkasa semula loji dengan teknologi baharu. Inisiatif ini adalah untuk mempercepat usaha merealisasikan aspirasi kemampanan\u00a0bagi pelepasan sifar bersih menjelang tahun 2050 seperti yang diumumkan oleh TNB pada tahun lepas.\nDalam konteks ini, penjanaan elektrik melalui sumber tenaga boleh diperbaharui adalah lebih baik daripada arang batu. Tenaga boleh diperbaharui ialah tenaga yang boleh diganti atau ditambah apabila digunakan. Tenaga boleh diperbaharui dihasilkan daripada sumber semula jadi seperti matahari, angin, hujan, air pasang surut, ombak, biojisim dan geoterma. Tenaga boleh diperbaharui juga mempunyai perspektif yang sangat baik bagi pembangunan mapan dan teknologi hijau kerana sumber ini sentiasa tersedia dan tidak akan habis walaupun digunakan dalam kuantiti yang banyak.\nAntara aspek penting penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam konteks pembangunan lestari ialah tenaga ini tidak mencemarkan alam sekitar. Pendirian kerajaan Malaysia untuk tidak lagi membina loji jana kuasa arang batu yang baharu merupakan langkah yang tepat dalam memberikan sinar baharu kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui bagi menjana elektrik. Tindakan ini juga dianggap sebagai langkah ke hadapan dalam merealisasikan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon seawal tahun 2050.\nPihak TNB selaku pemain utama dalam penjanaan elektrik utama negara perlu memulakan usaha untuk melabur dalam tenaga boleh diperbaharui. Memandangkan masa yang kian suntuk, sempatkah Malaysia melepaskan kebergantungan terhadap arang batu bagi menepati janjinya untuk bersifat lebih mesra alam? Meskipun Malaysia mempunyai rancangan jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan ke atas arang batu, adalah sukar buat Malaysia merealisasikannya sekiranya tiada rangka tindakan yang komprehensif.\nPada tahun lepas, penggunaan arang batu di Malaysia dianggarkan sebanyak 42.9 juta tan metrik, 94 peratus daripadanya digunakan untuk menjana elektrik. Oleh sebab itu, usaha berterusan diperlukan untuk mencapai sasaran dalam mencari alternatif untuk menjana tenaga elektrik yang lebih hijau pada masa hadapan. Sememangnya tenaga boleh diperbaharui merupakan sumber yang mahal untuk dilaksanakan pada masa ini, tetapi tindakan ini merupakan langkah yang menguntungkan pada masa depan.\nSumber tenaga boleh diperbaharui yang terawal dibangunkan di Malaysia ialah tenaga hidro. Tenaga hidro atau hidroelektrik merujuk pertukaran tenaga daripada pengaliran air kepada tenaga elektrik. Hidroelektrik menyumbangkan lebih 90 peratus tenaga elektrik dunia yang dihasilkan daripada tenaga boleh diperbaharui. Hidroelektrik menyumbangkan sebanyak 2559.9 MW tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia dan menjadikannya sebagai penyumbang terbesar tenaga boleh diperbaharui di negara ini. Malaysia mempunyai hampir 20 stesen janakuasa hidroelektrik yang diselenggara oleh TNB, Sarawak Hidro Sdn. Bhd. dan Sabah Electricity Sdn. Bhd.\nDi samping tenaga hidro, terdapat beberapa sumber tenaga boleh diperbaharui lain yang berpotensi untuk menjana tenaga elektrik termasuklah tenaga geoterma. Geoterma ialah tenaga yang dijana daripada haba yang berasal dari dalam bumi. Kebiasaannya, haba dari dalam bumi dialirkan hampir ke permukaan oleh mata air panas. Selain mata air panas, medium lain yang menjana haba dari dalam bumi ialah takungan hidrotermal lain, air garam yang mengalami geotekanan, batuan kering panas dan magma.\nWalau bagaimanapun, medium lain selain mata air panas memerlukan teknologi tinggi untuk mengekstrak tenaga haba. Suhu minimum bagi tenaga geoterma yang diperlukan untuk penjanaan tenaga elektrik ialah 125 darjah Celsius melalui stim yang dijana yang bertekanan tinggi.\nDi Malaysia, sumber sedia ada tenaga geoterma bagi penghasilan elektrik terletak di Apas Kiri, Tawau, Sabah. Kajian pada tahun 2007 mendapati bahawa kawasan seluas 50 kilometer persegi ini mempunyai takungan geoterma pada kedalaman tiga kilometer dengan suhu air mencecah 235 darjah Celsius. Mata air panas yang terdapat di sini berasal daripada aktiviti volkanik.\nSelain itu, antara sumber tenaga boleh diperbaharui lain termasuklah biojisim dan biogas. Biojisim ialah sumber semula jadi yang terhasil daripada tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Sumber biojisim terdiri daripada bahan organik seperti sisa tumbuhan, sisa haiwan, tanaman serta bahan buangan sampah pepejal yang boleh ditukarkan kepada tenaga elektrik. Bahan organik ini mudah mereput hasil daripada tindak balas bakteria melalui proses anaerobik. Proses ini menghasilkan gas metana atau biogas yang boleh menjana tenaga elektrik.\nBiojisim ialah sumber tenaga keempat terbesar di dunia dan merupakan sumber yang paling banyak di negara ini. Malaysia ialah negara pengeluar minyak sawit mentah kedua terbesar di dunia. Hampir 70 peratus daripada jumlah pemprosesan buah sawit dijadikan sisa buangan. Industri minyak sawit Malaysia menjana lebih kurang 80 juta tan kering biojisim pada setiap tahun.\nTenaga solar sememangnya telah diketahui umum sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui melalui pancaran cahaya matahari. Malaysia berada di kedudukan khatulistiwa dan menerima jumlah cahaya matahari yang tinggi pada sepanjang tahun. Iklim di Malaysia dengan purata suhu antara 21 darjah celsius hingga 32 darjah Celsius menjadikan tenaga solar mempunyai potensi yang besar dalam penjanaan tenaga elektrik. Penggunaan tenaga solar di Malaysia menggunakan kaedah fotovoltan atau panel solar. Kebanyakkan tenaga yang dihasilkan digunakan untuk tenaga elektrik di luar bandar, telekomunikasi, lampu jalan dan navigasi.\nKuasa angin adalah satu daripada potensi sumber tenaga boleh diperbaharui di Malaysia. Tenaga elektrik juga boleh dihasilkan menggunakan angin. Angin yang bertiup akan memusingkan bilah kipas pada turbin angin. Turbin angin ini disambungkan dengan penjana yang menghasilkan tenaga elektrik. Malaysia boleh dianggap sebagai kawasan yang mempunyai kelajuan angin yang tinggi berbanding dengan negara lain.\nDi Semenanjung Malaysia, Mersing dan Kuala Terengganu telah dikenal pasti sebagai kawasan yang mempunyai kelajuan angin yang tinggi, manakala di Malaysia Timur pula, Kudat merupakan kawasan yang berpotensi tinggi untuk menerima kelajuan angin yang lebih tinggi. Kuasa angin di Malaysia boleh mencecah sehingga 1.5 MW. Kedudukan Malaysia yang dikelilingi lautan dan mempunyai garis pantai yang luas menjadikan tenaga ombak amat sesuai untuk dipertimbang bagi menerajui satu daripada tenaga boleh diperbaharui dalam penjanaan elektrik." "Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee Lancar Buku Kanak-kanak Rumah Baharu Pario\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSerdang \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja (BKR) terus aktif dalam menerbitkan bahan bacaan bermutu dan berkualiti untuk golongan kanak-kanak.\nPada kali ini, buku terbaharu terbitan DBP, iaitu buku cerita bergambar kanak-kanak Rumah Baharu Pario nukilan Dr. Kua Beng Chu dilancarkan di MAEPS, Serdang. Beliau merupakan Timbalan Pengarah Kanan Penyelidikan FRI Batu Maung.\nPelancaran buku tersebut berlangsung bersempena dengan Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Inovasi Tahun 2022, Jigsaw Puzzle Pemodenan Vesel Penangkapan Ikan dan Membina Model Tukun Tiruan, pagi tadi.\nBuku tersebut dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, YBhg. Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee sambil disaksikan oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, YBhg. Tuan Haji Mohd Sufian Sulaiman serta Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran.\nBagi memastikan golongan kanak-kanak tidak ketinggalan dalam mendapatkan bahan bacaan yang bermutu berkaitan dengan flora dan fauna, DBP mengambil tanggungjawab dengan menerbitkan buku tersebut bertepatan dengan usaha DBP untuk menambah khazanah bacaan kanak-kanak dalam bahasa Melayu.\nPenerbitan buku ini juga membuktikan bahawa DBP sentiasa komited dan terus menjayakan usaha dalam mengembangkan bahasa Melayu kepada semua golongan masyarakat, tidak terkecuali kepada golongan kanak-kanak." "Mengenali Propolis Lebah Kelulut\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nWalaupun lebah kelulut tidak mempunyai sengat, namun haiwan ini masih dapat mempertahankan diri dengan menghasilkan bahan yang dikenali sebagai propolis. Propolis ialah campuran yang bersifat melekit yang dihasilkan oleh lebah kelulut dan digunakan untuk menutup lubang pada sarangnya. Propolis dapat membantu lebah kelulut melindungi sarang dan diri daripada serangan luar dan perubahan iklim.\nPropolis ialah bahan campuran serbuk yang kompleks dan terdiri daripada bahan resin semula jadi seperti daun, kulit pokok dan tunas bunga yang dikumpulkan daripada pelbagai jenis sumber tumbuhan. Bahan ini kemudiannya dicampurkan dengan lilin dan enzim air liur yang dirembeskan oleh lebah kelulut. Secara amnya, propolis terdiri daripada resin (50 peratus), lilin (30 peratus), minyak pati (10 peratus), sebatian kimia (10 peratus), debunga (lima peratus) serta vitamin dan mineral (lima peratus).\nPada masa ini, terdapat banyak kajian yang telah dijalankan untuk mengkaji sebatian kimia yang terdapat di dalam pelbagai jenis propolis di seluruh dunia. Setiap jenis propolis yang dihasilkan oleh lebah kelulut adalah berbeza-beza dan bergantung pada lokasi geografi dan jenis tumbuhan yang dikumpulkan oleh lebah kelulut. Sebagai contohnya, propolis yang dihasilkan di hemisfera utara mempunyai komposisi sebatian kimia yang berbeza dengan propolis yang dihasilkan di hemisfera selatan.\nPerbezaan kandungan propolis ini adalah disebabkan oleh propolis yang terdapat di hemisfera utara terdedah kepada perubahan iklim, iaitu musim panas, musim bunga dan musim luruh. Hemisfera selatan pula tidak mengalami perubahan musim yang ketara dan lebah dapat menghasilkan propolis sepanjang tahun. Kepelbagaian jenis propolis ini telah menarik minat saintis dan penyelidik untuk mengkaji sebatian kimia yang terdapat di dalam propolis sekaligus dapat menentukan kesan biologinya.\nPada tahun 2014, lebih daripada 400 sebatian telah dikenal pasti di dalam propolis jenis poplar. Jumlah sebatian ini dijangka meningkat apabila banyak lagi sampel propolis di seluruh dunia dikumpulkan dan direkodkan. Pada kebiasaannya, sebatian propolis yang telah dikenal pasti akan dikelaskan di dalam kelas kimia seperti alkohol, asid aromatik, vitamin, gula, asid lemak, flavonoid, fenol dan sebagainya. Seterusnya, pengkelasan sebatian kimia tersebut akan dikategorikan di dalam sebatian aktif seperti flavon, vanilin, asid malik, galangin, krisin dan sebagainya.\nSifat terapeutik propolis boleh dikaitkan dengan sebatian flavonoid dan fenolik yang terkenal sebagai bahan aktif antioksidan dan antimikrob. Aktiviti antikanser dan kesitotoksikan propolis pula terhasil daripada kehadiran krisin. Asid malik ialah bahan kimia yang terdapat di dalam buah-buahan dan digunakan sebagai perasa dalam makanan dan minuman yang juga menunjukkan aktiviti antimikrob.\nDi samping itu, propolis juga mengandungi gliserol dan asid glikolik yang banyak digunakan dalam produk kosmetik dan bahan makanan tambahan kerana sifatnya sebagai antipenuaan, antimikrob, antivirus dan antioksida. Antara contoh aktiviti topikal propolis termasuklah:\n\u00a0\nSehingga kini, beberapa jenis propolis telah dikenal pasti berdasarkan komposisi kimia dan asal tumbuhan. Antara jenis propolis yang terkenal ialah propolis jenis poplar, hijau, merah dan Mediterranean. Perbezaan warna propolis seperti warna kuning gelap, coklat, hijau dan merah adalah berpunca daripada sumber dan umur tumbuhan yang berhampiran dengan propolis.\n\u00a0\nJadual 1 Jenis dan kawasan yang terdapat propolis.\nSementara itu, kandungan terpenes dan sebatian fenolik memberikan kesan kepada bau propolis. Disebabkan oleh kandungan sebatian yang tinggi di dalam propolis, setiap sebatian kimia perlu diekstrak dengan teliti dan dianalisis untuk memastikan jenis propolis yang digunakan sesuai untuk sebarang rawatan dan aplikasi yang lebih selamat dan berkesan.\nSecara keseluruhannya, propolis lebah kelulut bukan sahaja merupakan produk makanan yang diperolehi dari lebah, malah turut digunakan sebagai penambah nilai dalam penghasilan barangan kosmetik dan makanan tambahan. Dewasa ini, pelbagai produk kesihatan yang mengandungi propolis dalam pelbagai bentuk seperti tablet, cecair dan krim boleh dijumpai dalam pasaran. Pengguna dinasihatkan untuk menyemak kandungan produk sebelum membeli produk tersebut. Pengguna juga perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada sumber yang sah seperti pegawai perubatan dan ahli farmasi sebelum membeli sebarang produk kesihatan." "Polisi Pengurusan Kenderaan Akhir Hayat Dilaksana Menjelang Tahun 2025\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Malaysia sedang mengkaji dan meneliti pendekatan yang sesuai bagi melaksanakan pengurusan kenderaan akhir hayat atau end-of-life vehicle (ELV) menjelang tahun 2025.\nMenurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba, pihak universiti dan industri dalam pembangunan teknologi lestari akan menyelesaikan permasalahan berkenaan dengan ELV menerusi pelbagai komponen dan bahan yang masih boleh diguna pakai untuk tujuan yang sama atau diolah menjadi suatu produk yang lain agar tidak menjadi bahan buangan yang sia-sia.\nKerjasama antara kedua-dua pihak ini menunjukkan negara kita berada di landasan yang tepat bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam ruang lingkup teknologi kenderaan.\nDemikian ucaptama YB Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba dalam majlis perasmian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Malaysia Automative Recyclers Association (MAARA).\nBeliau yakin bahawa kerjasama ini akan menjadi pemangkin kepada perkembangan sektor industri, khususnya dalam bidang inovasi dan teknologi yang akhirnya dapat membantu mewujudkan sebuah ekosistem ekonomi yang cemerlang serta meningkatkan taraf pendidikan dan penyelidikan sains, teknologi dan inovasi Malaysia.\nSementara itu, Naib Canselor UTM, YBhg. Datuk Ts Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, MoU yang akan menterjemahkan inisiatif pengetahuan akademik, penyelidikan dan pembangunan teknologi ini akan memberikan banyak manfaat kepada kedua-dua pihak serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan teknologi negara.\nPresiden MAARA, YBhg. Datuk Haji Khan Mohd Akram pula menegaskan pelibatan pemain industri melalui perkongsian ilmu berkenaan dengan sektor kitar semula ini dapat membantu pihak universiti untuk menambah baik kursus yang sedia ada agar lebih relevan terhadap keperluan industri.\nTambah beliau lagi, kerjasama ini juga memudahkan kebolehpasaran graduan lepasan universiti untuk merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan apabila pengurusan kenderaan akhir hayat kenderaan ini dilaksanakan oleh kerajaan.\nKementerian Sains, Teknologi dan Inovasi berharap jalinan kerjasama ini dapat menjadi titik permulaan kepada sebuah usaha yang lebih besar pada masa hadapan seiring dengan pembangunan dasar dan polisi kebangsaan bagi mencapai matlamat dan objektif yang ditetapkan.\nMajlis perasmian MoU antara UTM dengan MAARA telah berlangsung di Bilik Ilmuan 2, UTM Kuala Lumpur, baru-baru ini." "Derma Organ: Cakna demi Kehidupan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPendermaan organ merupakan amalan yang mulia, namun masih ramai orang yang ragu-ragu untuk menjadi sebahagian daripada pengikrar derma organ di negara ini. Malaysia merupakan antara negara terendah yang mempunya bilangan penderma organ di dunia. Pelbagai persepsi berkaitan dengan isu pendermaan organ telah mendorong terjadinya hal ini.\nKempen kesedaran pendermaan organ acap kali dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuklah Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan yang pada kebiasaannya berlangsung pada pertengahan bulan Ogos setiap tahun. Minggu kesedaran ini diadakan bersempena dengan tarikh 13 Ogos yang telah dipilih sebagai Hari Pendermaan Organ Sedunia oleh beberapa buah negara seperti India dan United Kingdom.\nPendermaan organ atau tisu ialah proses mendermakan sebahagian organ atau tisu daripada badan untuk tujuan pemindahan kepada orang lain yang memerlukan disebabkan oleh kegagalan atau kerosakan organ atau tisu tersebut. Selepas pemindahan organ, seseorang itu dapat meneruskan kehidupan yang lebih baik.\nMenurut Penyelaras Unit Bank Tisu, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr. Suzina Sheikh Abdul Hamid, pendermaan organ dan tisu adalah satu daripada amalan kemanusiaan yang mulia kerana berjaya menyelamatkan satu nyawa dan memberikan nafas baharu yang lebih sempurna kepada penerimanya.\nPemindahan organ di Malaysia dikendalikan oleh Pusat Sumber Transplan Nasional (PSTN) berdasarkan Akta Tisu Manusia 1974 dan pelbagai polisi serta garis panduan. Secara umumnya, terdapat dua bentuk pendermaan organ, iaitu pendermaan organ semasa hidup dan pendermaan organ kadaverik atau selepas kematian.\nDi Malaysia, KKM hanya membenarkan pendermaan organ semasa hidup daripada ahli keluarga terdekat yang mempunyai pertalian darah atau mendermakan organ kepada pasangan masing-masing yang sah.\nMenurut risalah yang diterbitkan oleh Unit Perkhidmatan Transplan, Bahagian Perkembangan Perubatan KKM, bagi pendermaan organ hidup, penderma perlu menjalani penilaian oleh sebuah jawatankuasa bebas yang dilantik oleh KKM, iaitu Unrelated Transplant Approval Committee (UTAC) sekiranya mahu mendermakan organ kepada seseorang yang tidak mempunyai pertalian darah.\nMenurut PSTN, secara umumnya individu yang ingin mendermakan organ perlu sihat dari segi fizikal dan mental. Mereka yang mempunyai penyakit berjangkit dan menghidap penyakit seperti diabetes dan barah tidak boleh menjadi penderma organ. Oleh itu, bagi individu yang ingin menjadi penderma organ, mereka perlu memaklumkan status kesihatan fizikal dan mental mereka kepada pegawai perubatan yang menjalankan penilaian. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh laman rasmi PSTN hingga bulan Jun 2022, jumlah pengikrar penderma organ di Malaysia ialah 515 530 orang sejak tahun 1997.\nWalaupun jumlah tersebut dilihat tinggi, namun jumlah penderma sebenar selepas kematian hanya 774 orang sejak tahun 1997, manakala bilangan organ dan tisu selepas kematian yang didermakan hanya berjumlah 2432. Hal ini disebabkan oleh ahli keluarga atau waris pengikrar penderma organ yang telah meninggal dunia tidak memberikan keizinan untuk mengambil organ sebagaimana yang telah diikrarkan.\nMenteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin dalam ucapannya ketika melancarkan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2022, beliau menasihati para pengikrar penderma organ agar memaklumkan hasrat mereka kepada ahli keluarga atau waris bagi memastikan pendermaan organ dan tisu mereka dapat direalisasikan.\nTambah beliau lagi, hajat dan hasrat murni pengikrar penderma organ hanya dapat dilaksanakan apabila ahli keluarga atau waris mengetahui serta memahami konsep pendermaan organ.\nKesedaran pendermaan organ dalam kalangan masyarakat Malaysia, terutamanya individu yang beragama Islam masih rendah walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada tahun 1970 telah memutuskan bahawa pendermaan organ dan tisu untuk pemidahan adalah dibenarkan (harus).\nMenurut mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, pemindahan organ dibenarkan bagi memenuhi tuntutan memelihara nyawa manusia yang merupakan satu daripada tuntutan Maqasid al-Syariah.\nKebanyakan orang Islam mempunyai salah faham berkaitan dengan isu pendermaan organ. Antara salah faham tersebut ialah (i) pendermaan organ oleh orang yang telah meninggal dunia didakwa boleh menyeksa mayat; (ii) sesetengah umat Islam pula berpendapat bahawa tubuh orang Islam itu ialah amanah Allah SWT dan tidak boleh diambil sesuka hati; (iii) sesetengah umat Islam yang lain risau dan takut penderma organ akan bangkit dengan jasad yang tidak sempurna di padang mahsyar, dan (iv) penderma organ akan menanggung dosa penerima organ jika berbuat maksiat ataupun penerima organ tersebut adalah kafir. Walau bagaimanapun, pandangan ini sekadar salah faham kerana pendermaan organ akan mengelakkan mudarat yang lebih besar, \u00c2\u00a0iaitu menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan organ berkenaan.\nSejarah pemindahan organ di Malaysia telah bermula dari tahun 1975. Sejak tahun tersebut, pelbagai aktiviti dan langkah pengukuhan terus dijalankan dari tahun ke tahun untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan dengan pendermaan organ. Antaranya aktiviti yang dijalankan ialah penganjuran minggu kesedaran pendermaan organ peringkat kebangsaan yang bertujuan memberikan kesedaran melalui promosi dan pendidikan berterusan kepada masyarakat berkaitan dengan pendermaan dan pemindahan sebagai satu daripada teknologi perubatan bagi menyelamatkan nyawa.\nPada tahun ini, tema yang dipilih bersempena dengan sambutan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan ialah Derma Organ: Cakna Demi Kehidupan. Terdapat pelbagai aktiviti menarik telah dirancang sepanjang sambutan minggu kesedaran tersebut yang berlangsung dari 13 Ogos 2022 hingga 17 Ogos 2022. Antaranya ialah pertandingan melukis poster, webinar derma organ istimewa, pertandingan video pendek, kuiz interaktif, pertandingan inovasi dan pameran serta pelbagai aktiviti lain.\nMinggu kesedaran pendermaan organ ini juga dilaksanakan pada peringkat negeri. Diharapkan dengan segala aktiviti dan hebahan berkaitan dengan pendermaan organ di seluruh negara mampu meningkatkan kesedaran dalam kalangan Keluarga Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada pengikrar penderma organ dan memberikan harapan kepada 10 279 orang pesakit yang menunggu organ daripada penderma.\nMaklumat lanjut berkaitan dengan pendermaan organ dan sambutan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2022 boleh didapati dalam laman media sosial PSTN, atau melayari laman sesawang rasminya di pautan https://www.dermaorgan.gov.my/." "Bahasa Vaie Kini Diiktiraf sebagai Bahasa Sukuan di Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2013\u00a0Satu bahasa sukuan baharu telah diiktiraf di Sarawak yang menambahkan bilangan bahasa sukuan sedia ada. Bahasa tersebut ialah bahasa Vaie yang dituturkan suku kaum Vaie sebagai satu bahasa sukuan yang tersendiri. Pada asalnya, bahasa ini dikelompokkan dalam bahasa Melanau Bintulu, namun begitu terdapat perbezaan dalam kosa katanya.\nMenurut Dr. Haji Mohd. Sharifudin Yusof, mantan pensyarah Universiti Putra Malaysia, sesuatu yang menarik dalam kajiannya yang lebih mendalam tentang bahasa ini\u00a0telah ditemukan. Beliau mendapati bahawa bahasa Vaie menggunakan konsonan v, q, dan z,\u00a0yang hampir sama dengan bahasa Latin di Turin, Itali.\nKewujudan pelbagai variasi bahasa sukuan\u00a0dalam kalangan suku\u00a0kaum\u00a0tersebut\u00a0menampilkan dialek yang berbeza\u00a0sehingga menimbulkan sedikit kesukaran\u00a0dalam proses pendokumentasian kosa kata bahasa sukuan setempat. Perbezaan kosa kata dalam bahasa\u00a0sukuan\u00a0menyebabkan pertembungan dalam menentukan kosa kata yang tepat dalam kalangan mereka sendiri. Oleh itu,\u00a0penerimaan kesemua kosa kata tersebut dan mengkategorikannya\u00a0mengikut suku\u00a0kaum\u00a0merupakan\u00a0jalan yang terbaik.\nDi Sarawak,\u00a0terdapat kira-kira\u00a048 bahasa sukuan\u00a0dan\u00a0ada sebilangan daripadanya\u00a0tidak pernah diketahui kewujudannya atau\u00a0kedengaran tentangnya. Bahasa sukuan merupakan bahasa komunikasi bagi masyarakat setempat untuk berkongsi pemikiran dan ilmu dalam kalangan mereka.\u00a0Dalam hal ini, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak khususnya\u00a0telah\u00a0memainkan peranannya dengan mengkaji dan mendokumentasikan bahasa sukuan untuk dibukukan, atau dirakam dalam kamus dan daftar kata sukuan.\nBahasa sukuan juga mendepani cabaran dalam kepesatan dunia kini. Generasi muda khususnya berlumba-lumba untuk menimba ilmu dan membina kerjaya di luar kelompok tradisi mereka. Bahasa sukuan berdepan dengan ancaman kepupusan dalam penggunaannya. Hal ini demikian kerana kelompok penuturnya semakin kecil kerana bahasa sukuan hanya dituturkan dalam kalangan kelompoknya sahaja. Bahasa sukuan juga dianggap tidak ekonomikal dan tidak relevan dengan keadaan semasa.\nTegas\u00a0beliau, bahasa sukuan dilihat mampu memberikan\u00a0sumbangan dalam memperluas\u00a0dan memperkaya\u00a0kosa kata dalam bahasa Melayu itu sendiri. Pengayaan kosa kata bahasa Melayu ini sejajar dengan hasrat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.\u00a0Keindahan dan keunikan bahasa sukuan ini juga berpotensi untuk diketengahkan dan diangkat penggunaannya dalam bahasa Melayu\u00a0sebagai usaha untuk memartabatkannya sebagai antara bahasa komunikasi di ASEAN." "Malaysia Sasar Sifar Bersih Karbon Seawal 2050\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cSelepas revolusi industri kira-kira 150 tahun yang lalu, peningkatan suhu bumi lebih ketara disebabkan oleh banyak penghasilan sebatian karbon di ruang atmosfera yang mengakibatkan bumi semakin lama semakin panas.\u201d\nDemikian ulasan yang diberikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), YBhg. Dato\u2019 Seri Ir. Dr. Zaini Ujang\u00a0dalam program Bicara Naratif: Malaysia Sifar Bersih Karbon Seawalnya 2050 yang berlangsung menerusi Facebook rasmi Berita RTM dan platform media sosial lain, hari ini.\nMenurut beliau, karbon merupakan suatu unsur kimia dan berada dalam banyak keadaan, terutamanya dalam badan manusia. Di alam sekitar pula, unsur karbon atau sebatian karbon ini adalah paling banyak selepas hidrogen, helium, oksigen, dan sebagainya.\nTambah beliau, apabila karbon banyak di ruang udara, karbon akan memerangkap haba daripada pancaran cahaya matahari. Semakin banyak sebatian karbon tersebut terperangkap, semakin panas ruang atmosfera. Tambahan pula, apabila terdapat pelepasan sebatian karbon lain seperti pembakaran sampah atau pembakaran bahan api fosil sama ada untuk penjanaan elektrik, kenderaan bergerak atau proses industri.\nDalam bicaranya juga, beliau menyatakan bahawa seluruh ahli sains di dunia yang bergabung dengan Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim atau Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) telah bersetuju bahawa peningkatan suhu sebanyak 1.1 darjah Celsius telah dicerap dalam tempoh 150 tahun yang lalu disebabkan oleh revolusi industri. Hal ini bermakna jika pelepasan karbon tidak dikawal akan menyebabkan pelbagai bencana seperti peningkatan suhu bumi, hakisan pantai, banjir yang tidak menentu, dan sebagainya.\nMengulas mengenai perkara ini, beliau turut menyatakan bahawa Malaysia komited untuk mengurangkan tujuh jenis sebatian karbon atau gas rumah kaca. Gas rumah kaca ini bertujuan untuk melindungi tanaman, khususnya sayur-sayuran dan bunga-bungaan daripada perubahan cuaca yang tidak menentu.\nTerdapat tiga cara untuk mengurangkan pelepasan karbon, iaitu memperbanyak berjalan kaki ke tempat yang mudah dikunjungi, melakukan aktiviti seperti menunggang basikal dan tidak menggunakan plastik sekali guna. Sementara itu, bagi meningkatkan kadar penyerapan karbon pula, seseorang itu boleh menanam sayur-sayuran atau pokok di kawasan rumah. Tindakan ini bukan sahaja menyihatkan badan, malah amalan ini boleh menjadi budaya dalam kalangan masyarakat.\nBerdasarkan kajian yang dilakukan, beliau telah mendapati bahawa pembelajaran tentang alam sekitar di Malaysia hanya sekadar untuk lulus peperiksaan, tetapi tidak dilaksanakan sepertimana yang dilakukan oleh para pelajar di Jepun. Sebagai contohnya, pembersihan padang sekolah atau tandas dilakukan oleh pelajar itu sendiri dan bukannya dilakukan oleh individu upahan. Secara tidak langsung, tindakan ini telah memberikan pengajaran kepada para pelajar agar menjaga kebersihan kawasan sekolah.\nSelain itu, terdapat banyak negara yang telah mengenakan cukai karbon kepada individu yang menghasilkan karbon seperti Sweden, Denmark, Norway dan sebagainya. Situasi ini akan menyebabkan masyarakat berfikir akan jumlah pelepasan karbon yang telah dihasilkan dan memikirkan kaedah yang terbaik untuk mengurangkan pelepasan karbon. Pelepasan karbon telah mengakibatkan pelbagai bencana di dunia dan pembayaran cukai karbon ini adalah sangat rasional untuk dilaksanakan.\nBagi menjadikan Keluarga Malaysia sebagai sebuah keluarga yang lestari, penekanannya adalah pada pembentukan tabiat yang boleh dibina dengan adanya asuhan agama. Malaysia boleh mencapai sifar bersih karbon menjelang tahun 2050 ataupun lebih awal daripada tempoh ini dengan syarat masyarakat perlu memahami maksud sifar bersih karbon dan melaksanakan suatu tindakan yang proaktif dalam menangani isu ini.\nPada masa yang sama, KASA akan memastikan jumlah pelepasan karbon dan menggantikannya dengan penyerapan gas rumah kaca supaya aktiviti yang dijalankan pada tahun ini menjadi sifar bersih.\nSementara itu, buku 40 Hadis Pelestarian Alam Sekitar yang dihasilkan oleh beliau bersama-sama YBhg. Profesor Dato\u2019 Dr. Zulkifli Mohd Yusoff bertujuan untuk menyebarluaskan kefahaman masyarakat tentang kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar." "Khasiat dan Potensi Ceri Kampung dalam Perubatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCeri kampung atau Muntingia calabura tergolong dalam keluarga Muntingiaceae. Pokok ini berasal daripada Amerika Tengah tetapi telah ditanam secara meluas di kebanyakan negara yang beriklim tropika seperti Brazil, China, India, Filipina, dan Malaysia. Lazimnya, tanaman ini tumbuh secara meliar, namun terdapat sesetengah masyarakat menanamnya di halaman rumah.\nPokoknya yang rendang dan bercabang menjadi tempat tarikan kanak-kanak untuk berteduh dan bermain. Buahnya yang kecil dan berwarna merah-kemerahan bukan sahaja menarik minat manusia, bahkan menjadi tarikan haiwan seperti burung. Buah ceri kampung ini rasanya amat manis ketika masak ranum. Namun begitu, kebanyakan orang\u00c2\u00a0 tidak mengetahui tentang khasiat yang boleh diperoleh daripada pokok ini.\nKhasiat Pokok Ceri Kampung \nBerdasarkan penulisan Farah Eliani dalam SinarPlus, terdapat enam khasiat daun pokok ceri kampung yang dibincangkan. Antara khasiatnya ialah dapat menurunkan bacaan kencing manis, menyembuhkan luka dan kudis, mencegah kanser, meredakan rasa sakit akibat keradangan, menurunkan kadar kolesterol, dan menurunkan bacaan darah tinggi.\nWalau bagaimanapun, sejauh manakah kebenaran khasiat yang dinyatakan tanpa bukti kajian saintifik? Secara umumnya, kita mengetahui bahawa masyarakat tradisional Melayu sememangnya menggunakan bahan daripada sumber alam semula jadi untuk merawat pelbagai penyakit. Namun begitu, dalam arus pemodenan pada masa ini, kajian terperinci perlu dilaksanakan bagi membuktikan khasiat sesuatu pokok atau tanaman yang digunakan sebagai ubat tradisional untuk tujuan penyembuhan beberapa penyakit.\nBukti Saintifik \nHasil pembacaan umum melalui penulisan kajian saintifik, terdapat beberapa orang saintis di Malaysia telah membuat analisis terhadap ekstrak daun pokok ceri dan telah menguji tindak balas tersebut ke atas kehadiran sebatian aktif semula jadi, iaitu antioksidan yang bertindak balas dengan aktiviti radikal bebas yang memberikan kesan terhadap proses penuaan dan penyebab pelbagai penyakit kronik.\nPenulis sendiri telah menjalankan kajian terhadap kehadiran sebatian aktif semula jadi daripada ekstrak buah ceri kampung tempatan bagi kedua-dua buah ranum dan muda. Kajian tersebut dilakukan bagi menguji kehadiran sebatian semula jadi sebagai agen antibakteria dan mengira kuantiti kandungan fenolik yang dikaitkan dengan aktiviti antioksidan.\nHasil kajian tersebut telah membuktikan bahawa ekstrak buah ceri kampung tempatan mengandungi sebatian aktif semula jadi yang berpotensi sebagai agen antibakteria dan mungkin mengandungi sebatian antioksidan yang tinggi. Oleh itu, kajian terhadap pokok ceri kampung tempatan adalah perlu kerana mempunyai potensi yang tinggi dalam nilai perubatan yang boleh dimodenkan. Tambahan pula, pokok ceri kampung ini mudah didapati dan boleh ditanam secara meluas." "TTS dan DBP: Memperkukuh Kerjasama Penerbitan Buku dan Majalah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRanau \u00a0\u2013\u00a0 Kerjasama penulisan dan penerbitan buku antara Taman-Taman Sabah (TTS) dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sememangnya telah lama terjalin. Sebagai hasilnya, sebanyak enam judul buku TTS sebelum ini telah berjaya diterbitkan oleh Bahagian Buku Umum, DBP.\nHubungan akrab yang sedia ada itu diperkukuh lagi pada hari ini menerusi Bengkel Pemurnian Buku Umum TTS dan DBP yang dihadiri oleh lebih daripada 20 orang kakitangan TTS dalam kalangan penyelidik pelbagai bidang dan kepakaran, serta mewakili stesen yang terpilih, iaitu botani; ekologi; entomologi; zoologi; Taman Kinabalu/Poring; Taman Pulau Tiga; Taman Kinabalu; Taman Pulau Sipadan; Taman Tunku Abdul Rahman; dan Taman Marin Tun Sakaran.\nMenurut Pengarah Jabatan Penerbitan, DBP, Tuan Haji Razali Che Mat, menerusi Bengkel Pemurnian Buku Umum TTS dan DBP, penyelidik yang terlibat akan lebih terdedah dan lebih mendalami keperluan terpenting dalam penghasilan sesebuah buku yang pada akhirnya akan memudahkan keseluruhan proses penerbitan. Kerjasama tersebut juga, menurut Tuan Haji Razali merupakan landasan untuk mengetengahkan penghasilan buku yang benar-benar berkualiti dan mampu bersaing di pasaran kelak.\n\u00a0\nDBP percaya bahawa dengan kerjasama sebegini, lebih banyak buku yang berkualiti akan dapat dihasilkan. Diharapkan kerjasama ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang.\nKeyakinan tersebut turut disandarkan menerusi kepakaran dan bimbingan Editor Kanan dan Editor Bahagian Buku Umum yang turut serta dan\u00a0 bertanggunjawab mengendalikan bengkel pemurnian tersebut yang diketuai oleh Puan Huznah Sait; Puan Siti Mariam Othman; dan Puan Munirah Ghazali.\nTidak ketinggalan, TTS turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen DBP atas kerjasama penerbitan buku yang telah dirancang. Menurut Penolong\u00a0 Pengarah Penyelidikan dan Pendidikan Taman Kinabalu, Encik Fred Tuh Yit Yu, kumpulan penyelidik yang terlibat dalam bengkel tersebut perlu mengambil sebaik-baik ilmu dan peluang yang diberikan dalam usaha penerbitan buku yang dirancang.\nSaya percaya bahawa dengan penerbitan buku yang sedang dalam proses pemurnian ini akan dapat\u00a0meningkatkan lagi semangat para penyelidik di TTS untuk lebih banyak menghasilkan buku pada masa akan datang, khususnya dengan DBP.\nDalam bengkel tersebut, para peserta turut didedahkan dengan peluang penerbitan rencana dalam 11 majalah terbitan DBP, khususnya majalah Kosmik\u00a0dan Dewan Masyarakat, serta portal digital JendelaDBP." "Forum \u201cMemartabatkan Buku Karya Cendekia\u201c Membuka Minda Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSerdang \u2013 Forum \u201cMemartabatkan Buku Karya Cendekia\u201c antara satu daripada program yang diadakan bersempena dengan penganjuran Ekspo Buku Malaysia dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022 yang diadakan mulai 22 Ogos 2022 hingga 25 Ogos 2022 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM).\nForum ini menampilkan empat orang ahli panel jemputan, iaitu Felo Utama, Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBhg, Dato\u2019 Paduka Profesor Dr. Supyan Hussin, Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, YBhg. Profesor Dr. Azhar Wahid, Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, YBrs. Encik Mohd. Khair Ngadiron, dan mantan wali Kota Batam, YBhg. Dato\u2019 Dr. Ahmad Dahlan serta dikendalikan oleh Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, UPM, YBhg. Profesor Dr. Zaid Ahmad selaku moderator.\nPenganjuran forum ini menjadi medan atau platform penting untuk melihat kembali tradisi penghasilan karya ilmiah yang terdapat di Malaysia dan karya yang dihasilkan oleh masyarakat di negara ini.\nBangsa yang banyak menghasilkan karya besar atau mahakarya merupakan bangsa yang dihormati kerana memiliki keupayaan intelektual. Oleh itu, kita seharusnya menghasilkan penulisan yang boleh ditelaah dan diwariskan kepada generasi akan datang.\nMenurut YBhg, Dato\u2019 Paduka Profesor Dr. Supyan Hussin, konteks membaca itu sangat luas. Amalan membaca itu perlu bermula daripada hati. Kini, generasi muda lebih menjurus kepada dunia digital. Mereka tidak menolak keberadaan buku tetapi rupa bentuk fizikal buku itu tidak digemari oleh mereka. Generasi muda pada masa ini lebih menggemari buku yang berbentuk digital.\nTambah beliau, individu terutamanya pensyarah sebagai seorang cendekiawan dan aktif berfikir perlu memiliki budaya menulis. Tanggungjawab mereka yang perlu digalas bukan sahaja setakat mengajar, malah mereka juga perlu membuat penyelidikan, membentang hasil penyelidikan dan menerbitkan kajian yang telah dilakukan. Selain itu, pensyarah juga digalakkan untuk menghasilkan buku berdasarkan hasil kajian yang terhimpun setelah beberapa tahun. Hal ini bertujuan bagi mengelakkan kesuraman dalam penerbitan buku, terutamanya pada peringkat universiti dan sebagainya.\nSeterusnya, YBhg. Profesor Dr. Azhar Wahid menyatakan bahawa antara punca kesuraman dalam dunia penulisan adalah disebabkan oleh tiada keperluan untuk menulis buku, terutamanya pada peringkat universiti. Hal ini dikatakan demikian kerana seseorang pensyarah itu jika menginginkan kenaikan pangkat, perkara yang dititikberatkan ialah penghasilan penulisan jurnal bukannya penulisan buku.\nBeliau juga mengatakan bahawa tempoh penilaian karya yang terlalu lama telah mengurangkan motivasi penulis untuk menulis buku. Oleh yang demikian, tempoh penilaian sesuatu penerbitan buku perlu dikurangkan agar membolehkan buku tersebut dapat diterbitkan dengan segera.\nMengulas dengan lebih lanjut topik perbincangan dalam forum ini, YBrs. Encik Mohd. Khair Ngadiron menyatakan bahawa jumlah penulis dan penerbit indie pada masa ini semakin banyak dan kebanyakannya terdiri daripada generasi muda. Sebahagian besar golongan ini menggerakkan penulisan yang berbentuk serius dan ilmiah. Hal ini bermakna penerbitan buku berbentuk fizikal masih mempunyai ruang untuk dihasilkan dan penerbitannya masih berterusan.\nBeliau turut memberikan beberapa inisiatif yang boleh dilakukan untuk memartabatkan buku, antaranya adalah dengan membina hubungan baik antara buku dengan masyarakat, memperkukuh gerakan budaya membaca, mengangkat karya Malaysia di persada antarabangsa, mempromosikan aktiviti perbukuan di seluruh negara, memperkasa akta, dasar, peraturan dan garis panduan perbukuan, membina pangkalan data perbukuan yang sistematik, dan membuat potongan cukai kepada individu dan syarikat yang menyumbang kepada aktiviti perbukuan.\nSementara itu, YBhg. Dato\u2019 Dr. Ahmad Dahlan telah berkongsi pengalaman beliau berkaitan dengan penerbitan bukunya dalam bahasa Melayu, terutamanya tentang sejarah Melayu, Dalam bicaranya juga, beliau menasihati masyarakat agar mengembalikan semula penerbitan buku tentang Melayu dan berusaha membangkitkan sejarah Melayu pada masa lalu untuk diterbitkan.\nTurut hadir dalam program ini ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara, YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latif Abu Bakar dan Naib Canselor, UPM, YH Profesor Dato\u2019 Dr. Mohd Roslan Sulaiman." "Anugerah Buku Negara: Pengiktirafan Berharga\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSerdang \u2013 \u201cIndustri perbukuan negara memainkan peranan penting dalam membentuk generasi Malaysia yang bertamadun dan berdaya saing. Generasi muda, terutamanya daripada golongan kanak-kanak hingga remaja wajar diberikan pendedahan berkenaan dengan perkembangan dan transformasi industri perbukuan negara kerana mereka merupakan golongan yang akan bertanggungjawab dalam meneruskan industri ini kelak\u201d.\nDemikian ucapan perasmian Anugerah Buku Negara 2022 oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, YBhg. Dato\u2019 Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian yang diadakan di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.\nBeliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dan UPM yang telah berusaha untuk merealisasikan program yang dilaksanakan sepanjang Ekspo Buku Malaysia dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022 ini berlangsung.\nMenurut beliau, acara penganugerahan seperti ini perlu diperkasa. Hal ini dikatakan demikian kerana penganugerahan ini merupakan landasan yang baik untuk membangun dan meningkatkan penyertaan semua pihak dalam ikhtiar mengisi Wawasan Kemakmuran Bersama Keluarga Malaysia yang sedang dilaksanakan kini.\nPihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) turut memajukan enam agenda utama untuk melahirkan generasi Malaysia pendidikan tinggi yang berkaliber dan berperadaban, iaitu (1) memperkasa pendidikan digital dengan memanfaatkan teknologi berkomputer, (2) memantapkan jaringan strategik swasta dengan memperkasa kerjasama antara pihak industri dengan pusat pengajian tinggi, (3) memperkukuh kebolehpasaran graduan dengan menyediakan peluang pekerjaan baharu dan menangani isu pengangguran, (4) memacu kesejahteraan komuniti dengan menekankan keperluan untuk menggiatkan lebih banyak sumbangan akademik kepada komuniti (5) merakyatkan kecemerlangan institusi dengan memberikan naratif baharu kepada model bisnes syarikat induk dan anak-anak syarikat universiti awam serta (6) menyemarakkan semangat #KPTPrihatin dengan menerapkan elemen kebajikan kepada graduan institut pengajian tinggi dan warga kerja KPT.\nInisiatif bagi membangunkan kecemerlangan rakyat dan negara serta pelibatan pihak industri seperti ini harus disokong oleh semua pihak agar dapat membantu memajukan industri buku negara dan seterusnya membina masyarakat berilmu menerusi budaya suka meningkatkan pengetahuan, menulis dan membaca yang berteraskan pendidikan dan sumber kreatif sekali gus memberikan manfaat besar kepada kemajuan dunia, bangsa, Keluarga Malaysia, dan negara.\nYBhg. Dato\u2019 Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian mengucapkan selamat maju jaya kepada YPBN, UPM dan rakan strategik yang telah berganding bahu bekerja keras dalam merealisasikan matlamat dan hasrat kerajaan dalam membina Malaysia yang lebih progresif serta dinamik melalui tabiat membaca dan menulis.\nSementara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola YPBN, YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latif Abu Bakar mengucapkan rasa syukur kerana penganjuran Ekspo Buku Malaysia dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022 yang pertama kali diadakan pada peringkat universiti berjalan dengan lancar.\nMengulas lebih lanjut, beliau menyatakan bahawa Anugerah Buku Negara yang disampaikan kepada para penerima pada hari ini merupakan suatu penghormatan dan anugerah yang sangat menarik lebih-lebih lagi apabila mendapat sokongan daripada pihak KPT. Dalam majlis penyampaian anugerah seperti ini membolehkan penerima anugerah bertemu dengan tokoh tanah air, generasi muda dan generasi lama sekali gus dapat memanfaatkannya sebagai satu pertemuan ilmuan.\nSeperkara lagi, beliau berkata dengan adanya ekspo buku seperti ini dapat menimbulkan rasa minat pelajar untuk berusaha menerbitkan buku, misalnya tentang kisah kehidupan mereka dan sebagainya. Walau bagaimanapun, penerbitan buku dalam kalangan pelajar ini perlulah di bawah pengawasan pihak hal ehwal pelajar universiti masing-masing.\nSetelah selesai sesi penyampaian Anugerah Buku Negara, turut diadakan pelancaran buku Pantun Teka-Teki Fikir dan Tafsir, buku Bahasa dan Identiti Kepimpinan Khaled Nordin dalam Pendidikan Tinggi Negara serta buku Politik, Etnisiti dan Peradaban: Malaysia Pasca 2020. Majlis tamat dengan sesi lawatan ke tapak Ekspo Buku Malaysia.\nSENARAI PENERIMA ANUGERAH BUKU NEGARA 2022\nKategori Anugerah Perdana: Penerbit Profilik\nPenerima: Dewan Bahasa dan Pustaka\n\u00a0\nKategori Anugerah Perdana: Penerbit Universiti Harapan\nPenerima: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia\n\u00a0\nKategori Anugerah Perdana: Kepimpinan Penerbit Pengajian Tinggi\nPenerima: Profesor Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan\n\u00a0\nKategori Anugerah Perdana: Tokoh Penerbit Novel Profilik\nPenerima: Dato\u2019 Sri Wan Mohd Muzri Ramli\n\u00a0\nKategori Anugerah Pengajian Tinggi: Buku Perniagaan dan Ekonomi Terbaik\nJudul: Pemerkasaan Aktiviti Pengkomersialan Produk Penyelidikan di Universiti \nPenyunting: Norain Ismail, Zawiah Mat dan Sazelin Arif\nPenerbit: Universiti Teknikal Malaysia Melaka\n\u00a0\nKategori Anugerah Pengajian Tinggi: Buku Seni dan Kreatif Terbaik\nJudul: Tutorial Ilustrasi Digital Motosikal\nPenulis: Ghazali Daimin\nPenerbit: Universiti Teknologi Mara\n\u00a0\nKategori Anugerah Pengajian Tinggi: Buku Mewah Terbaik (Penyelidikan dan Fotografi)\nJudul: Ular Darat Malaysia\nPenulis: Norhayati Ahmad, Daicus Belabut dan Chan Kin Onn\nPenerbit: Universiti Kebangsaan Malaysia\n\u00a0\nKategori Anugerah Pengajian Tinggi: Buku Sains dan Teknologi Terbaik\nJudul: Digital Image Processing and Computer Vision Fundamental and Applications\nPenulis: Othman O. Khalifa\nPenerbit: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia\n\u00a0\nKategori Anugerah Pengajian Tinggi: Buku Alam Semula Jadi Terbaik (Lestari)\nJudul: Lower Kinabatangan Premier Competitive Sustainable Ecotourism Destination\nPenulis: Jennifer Chan Kim Lian, Kamarul Mizal Marzuki, Fiffy Hanisdah Saikim, dan Tini Maizura Mohtar\nPenerbit: Universiti Malaysia Sabah\n\u00a0\nKategori Anugerah Pengajian Tinggi: Buku Alam Semula Jadi Terbaik (Penyelidikan)\nJudul: Tinosfora Crispa Akar Patawali Health Benefits of Bitter Taste\nPenulis: Hazrulrizawati Abd Hamid\nPenerbit: Universiti Malaysia Pahang\n\u00a0\nKategori Anugerah Pengajian Tinggi: Buku Sains dan Teknologi Terbaik\nJudul: Scientific Evidence Malaysian Medical Plants with Wound Healing Properties\nPenulis: Sharifah Sakinah Syed Alwi, Seri Narti Edayu Sarchio, Mohd Firdaus Ismail, Henna Roshini Alexander, dan Latifah Saiful Yazan\nPenerbit: Universiti Putra Malaysia\n\u00a0\nKategori Anugerah Pengajian Tinggi: Buku Islamik Terbaik\nJudul: Allah Menurul Al-Ghazali\nPenulis: Mohd Fauzi Hamat dan Mohd Hasrul Shuhari\nPenerbit: Universiti Malaya\n\u00a0\nKategori Anugerah Pengajian Tinggi: Buku Perisian Multimedia Terbaik\nJudul: Pembangunan Perisian Multimedia untuk Kanak-kanak Prasekolah\nPenulis: Nor Azah Abdul Aziz, Norasikin Fabil dan Zawawi Ismail\nPenerbit: Universiti Sultan Zainal Abidin\n\u00a0\nKategori Anugerah Industri: Buku Umum Terbaik (Pengurusan Organisasi)\nJudul: Sarwajagat Kepimpinan Islam dalam Pengurusan Organisasi\nPenulis: Ab Aziz Yusof dan Muhammad Afif Mohd Badrol\nPenerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka\n\u00a0\nKategori Anugerah Industri: Novel Terbaik\nJudul: Dia Tetap Sempurna\nPenulis: Anjell\nPenerbit: Karya Seni Sdn. Bhd.\n\u00a0\nKategori Anugerah Industri: Buku Umum Terbaik (Terjemahan)\nJudul: Imam Al-Bukhari Terjemahan Al-Adab Al-Mufrad Sunnah dalam Beradab dan Kelebihan Beramal Mulia\nPenulis: Imam Al-Bukhari \u201cPenterjemah: Sidang Penterjemah Seliaan Telaga Biru\u201d\nPenerbit: Telaga Biru Sdn. Bhd.\n\u00a0\nKategori Anugerah Industri: Buku Umum Terbaik (Biografi)\nJudul: Biografi Sasterawan Negara Shahnon Ahmad Anak Nan Bertuah\nPenulis: Mohd Yusof Hasan\nPenerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka\n\u00a0\nKategori Anugerah Industri: Buku Umum Terbaik (Pengajian Al-Quran)\nJudul: Panduan Lengkap Ilmu Tajwid: Riwayat Hafs daripada Qiraat \u2018Asim melalui Toriq Al-Syatibiyyah\nPenulis: Dr. Khairul Anuar Mohamad dan Ustaz Abu Iskandar\nPenerbit: Adab Sinergi Sdn. Bhd.\n\u00a0\nKategori Anugerah ASEAN: Buku Umum Terbaik (Islamik)\nPenerima: Penerbit Buku Sejarah Melayu, Dato\u2019 Dr. Ahmad Dahlan" "Lembaga Angkasa Malaysia Setuju Kerajaan Meratifikasi Triti Angkasa Lepas Antarabangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Lembaga Angkasa Malaysia yang bersidang buat pertama kalinya pada 25 Ogos lalu secara dasarnya bersetuju agar kerajaan meratifikasi triti angkasa lepas antarabangsa selaras dengan keutamaan dan kepentingan negara.\nKeutamaan semasa kerajaan ketika ini ialah triti berkaitan dengan keselamatan dan liabiliti yang terkait isu penemuan objek disyaki roket di sekitar Sarawak pada hujung bulan Julai yang lalu.\nDemikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu sidang media yang diadakan.\nMengulas lanjut berkaitan dengan isu penemuan objek yang disyaki tersebut, MOSTI memaklumkan bahawa perkara berkenaan sedang dalam siasatan lanjut pihak Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Jabatan Kimia Malaysia.\nAkta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 telah diwartakan pada 25 Januari 2022 dan tarikh 4 Ogos 2022 pula telah ditetapkan sebagai tarikh kuat kuasa Akta 834 bagi Bahagian I, II, VII, IX Seksyen 64 dan Seksyen 62 oleh Menteri MOSTI, YB Dato\u2019 Seri Dr. Adham Baba.\nFungsi utama Lembaga Angkasa Malaysia adalah untuk mengawal selia segala aktiviti berkaitan dengan angkasa bagi tujuan keselamatan, pendaftaran objek angkasa dan peruntukan bagi kesalahan aktiviti angkasa.\nLembaga ini juga akan memastikan aktiviti angkasa negara dilaksanakan secara bertanggungjawab, selamat, terjamin serta mematuhi segala peraturan dan piawaian yang dipersetujui pada peringkat antarabangsa.\nDi samping itu, lembaga ini bertanggungjawab untuk menasihati kerajaan Malaysia mengenai perkara berhubung dengan pelaksanaan dan pentadbiran Akta 834 selain melaksanakan atau mengadakan peruntukan bagi pelaksanaan obligasi yang berbangkit daripada perjanjian, konvensyen atau triti antarabangsa berkaitan dengan akta ini.\n(Sumber gambar: Facebook MOSTI)" "Taman Kinabalu: Syurga Alam Semula Jadi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nTaman Kinabalu terletak di pantai barat negeri Sabah, di Malaysia timur yang juga dikenali sebagai Malaysia Borneo. Taman Kinabalu terletak di hujung utara Banjaran Crocker dan membentuk tulang belakang tanah besar Sabah.\nTaman Kinabalu merangkumi tiga buah daerah, iaitu Ranau yang berkeluasan 31 700 hektar (ha), Kota Belud (25 700 ha), dan Kota Marudu (17 970 ha). Taman ini menjadi lokasi pelbagai habitat termasuklah habitat pergunungan, subalpin, ultramafik dan tanah rendah. Taman Kinabalu juga dikenali sebagai syurga alam semula jadi kerana kawasan ini mempunyai kepelbagaian flora dan fauna yang unik dan pelbagai spesies endemik yang tidak ternilai harganya.\nMemiliki landskap yang teramat indah, kepelbagaian flora dan fauna serta tahap perlindungan dan pengurusan yang terbaik menjadikan Taman Kinabalu permata pelancong dari dalam dan luar negara. Sebagai antara taman yang terunik dan terindah di dunia, Taman Kinabalu telah diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan, Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2 Disember 2000.\nTaman Kinabalu yang berkeluasan 753.37 kilometer (km) persegi telah diwartakan pada 16 Januari 1964 sebagai Taman Negara di bawah Ordinan Taman Negara (1962). Pada tahun 1984, nama Taman Negara Kinabalu telah ditukar kepada Taman Kinabalu selaras dengan penggantian Ordinan Taman Negara Sabah oleh Enakmen Taman-Taman Sabah. Di bawah Enakmen Taman 1984, taman ini diuruskan oleh Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah.\nUniknya, di dalam taman ini, terdapat tujuh pencawang, iaitu Ibu Pejabat Taman (Park HQ), Kolam Air Panas Poring, Mesilau Nature Resort, Serinsim, Monggis, Sayap dan Nalapak. Stesen utama taman ini termasuklah Ibu Pejabat Taman dan Mata Air Panas Poring, manakala selebihnya ialah pencawang yang berfungsi sebagai pos luar di sepanjang sempadan taman untuk pemantauan dan penguatkuasaan.\nFlora Taman Kinabalu merupakan satu daripada yang terkaya dan pelbagai di dunia, dengan tahap endemisme yang tinggi. Hal ini telah ditetapkan sebagai Pusat Kepelbagaian Tumbuhan yang mengandungi spesies dari Australia, Himalaya, China dan Malaysia serta flora pan-tropika. Keajaiban flora Taman Kinabalu juga menjadikannya rumah kepada kebanyakan mamalia, amfibia, burung dan invertebrata Borneo yang sukar ditemukan di kawasan lain sama ada di negara ini atau di negara lain.\nJulat ketinggian dan iklim yang hebat, topografi yang pelbagai dan curam yang mewujudkan pengasingan geografi, geologi yang pelbagai dan keindahan semula jadi yang luar biasa semuanya menyumbang kepada kepelbagaian yang tinggi. Maka itu, Taman Kinabalu diletakkan dalam Hotspot Pemuliharaan yang ditetapkan oleh Conservation International, kawasan Eko Air Tawar Global 200 WWF, Pusat Kepelbagaian Tumbuhan WWF/IUCN dan Kawasan Burung Endemik yang ditetapkan oleh BirdLife.\n\nTaman Kinabalu merupakan taman yang luar biasa kerana mempunyai kawasan hutan dengan kepelbagaian spesies flora yang unik dan menarik. Terdapat sekurang-kurangnya 5000 hingga 6000 tumbuhan vaskular yang mengandungi 200 keluarga dan lebih 1000 genera yang menyumbang kepada 14 peratus flora di Malaysia dan sebanyak 2.4 peratus flora yang terdapat di dunia. Terdapat sebanyak 612 spesies paku pakis; 90 spesies orkid endemik daripada 887 spesies yang dikenal pasti; dan daripada 33 spesies rhododendron, sembilan daripadanya merupakan spesies endemik.\nSelain itu, sebanyak sembilan spesies tumbuhan periuk kera telah direkodkan oleh para penyelidik yang menjadikannya sebagai antara khazanah paling berharga di Taman Kinabalu. Daripada jumlah itu, sebanyak empat spesies merupakan spesies endemik, iaitu Nepenthes rajah, Nepenthes villosa, Nepenthes burbidgeae dan Nepenthes kinabaluensis.\nTidak cukup dengan itu, terdapat 81 spesies pokok ara telah direkodkan, dengan 13 daripadanya merupakan spesies endemik Taman Kinabalu. Terdapat juga 13 spesies tumbuhan buluh; 78 spesies pokok palma; dan 46 spesies halia liar. Tumbuhan Begonia pula terdiri daripada 21 spesies dengan 16 daripadanya merupakan spesies endemik. Terdapat juga kira-kira 600 spesies cendawan yang \u201cmenghuni\u201d Taman Kinabalu.\nKeunikan Taman Kinabalu tambah diserlahkan lagi dengan kehadiran dua spesies bunga terbesar di dunia, iaitu Rafflesia keithii dan Rafflesia pricei. Selain itu, para penyelidik turut menemukan sebanyak 24 spesies tumbuhan hiperakumulator nikel dengan dua daripadanya merupakan spesies endemik. Sebanyak 119 spesies mamalia di Taman Kinabalu turut direkodkan dengan 18 daripada jumlah tersebut merupakan spesies endemik di Borneo.\nSementara itu, Taman Kinabalu turut dihuni oleh 326 spesies burung, dengan 17 spesies daripadanya ialah spesies endemik Borneo. Daripada 92 spesies amfibia yang terdapat di Taman Kinabalu, sembilan daripadanya merupakan spesies endemik yang perlu diberikan perhatian. Hal yang demikian juga dengan spesies ular apabila para penyelidik mendapati terdapat 62 spesies ular, dengan 13 daripadanya merupakan spesies endemik Borneo; dan 44 spesies biawak (21 daripadanya merupakan spesies endemik Borneo).\nTaman Kinabalu juga mempunyai pelbagai jenis ikan air tawar. Sebanyak 40 spesies ikan air tawar juga telah direkodkan (16 daripadanya merupakan spesies endemik Borneo). Selain itu, terdapat 850 spesies rama-rama direkodkan dalam kalangan kumpulan serangga tersebut. Daripada jumlah tersebut sebanyak 15 daripadanya merupakan spesies endemik. Seterusnya, sebanyak 112 spesies rama-rama telah dikenal pasti, dengan sembilan daripadanya diklasifikasikan sebagai endemik Taman Kinabalu.\nSesungguhnya Taman Kinabalu merupakan syurga flora dan fauna yang tidak ternilai harganya. Mengekalkan keindahan flora dan fauna Taman Kinabalu pastinya penuh dengan pelbagai cabaran dan rintangan. Maka itu, semua pihak harus menyedari bahawa hidupan, flora dan fauna Taman Kinabalu harus diwarisi oleh generasi akan datang. Oleh itu, mahu tidak mahu kita harus bersama-sama menjaganya agar keaslian khazanah ini dapat dikekalkan sampai bila-bila.\nPenulis ialah Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pendidikan Taman-Taman Sabah." "Negara Perlu Bersedia Hadapi Ancaman Krisis Kesihatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah berkenan mencemar duli berangkat menyempurnakan perasmian Seminar Sarawak Le Tour De Borneo \u2013 From Perlis to East Malaysia 2022 anjuran Persatuan Pakar Perubatan Dalaman Maju dan Akut serta Ultrabunyi Malaysia (MAAIMUSS) Perlis di Auditorium Clinical Research Centre, Hospital Umum Sarawak pada petang semalam.\nKeberangkatan tiba baginda yang diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Presiden MAAIMUSS, Datuk Seri Profesor Dr. Paras Doshi.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra yang merangkap Penaung MAAIMUSS bertitah bahawa negara perlu lebih bersedia dan menambahbaik perkhidmatan di sektor kesihatan untuk menghadapi sebarang gelombang mahupun krisis kesihatan pada masa hadapan.\nPada masa ini, tumpuan harus diberikan kepada gelombang seterusnya, iaitu penyakit tidak berjangkit (NCD). Gelombang ini dijangka akan berpanjangan berbanding dengan gelombang pandemik COVID-19. Sekiranya petugas sektor kesihatan tidak bersedia secukupnya untuk menghadapi gelombang NCD ini, hal ini akan memberikan kesan yang lebih besar terhadap sistem penjagaan kesihatan dan mampu meruntuhkan sektor kesihatan Malaysia.\nTambah baginda lagi, sektor kesihatan di Malaysia harus sentiasa berinovasi dan mengamalkan amalan terbaik bagi menjadikan sistem penjagaan kesihatan negara lebih maju ke hadapan, berdaya tahan dan cekap.\nBaginda juga menyeru rakyat untuk sama-sama bersiap sedia untuk mempelajari dan mengambil pedoman daripada pihak luar bagi menyesuaikan sesuatu amalan yang positif untuk dilaksanakan dalam sistem penjagaan kesihatan tempatan, misalnya amalan dalam Perubatan Dalaman Maju dan Akut.\nBaginda juga berharap agar MAAIMUSS akan terus menerajui kaedah penggunaan Bedside Point of Care Ultrasound di seluruh negara.\nKeperluan dan manfaat program sebegini mampu memberikan kesan yang besar. Seharusnya, inisiatif ini diperluaskan ke seluruh negara bagi membolehkan sektor kesihatan di setiap negeri akan mendapat manfaat daripada kemahiran masing-masing di samping menggalakkan perkongsian dan pembelajaran antara negeri. Inisiatif ini boleh dijayakan dengan kerjasama yang erat antara semua pihak.\nMenurut baginda, MAAIMUS di negeri Perlis dan Sarawak telah mengambil inisiatif dan langkah awal dalam menjayakan program ini. Baginda juga menyeru semua pihak dalam institusi kesihatan untuk terus memberikan sokongan bagi memastikan impak program sebegini akan terus membawa manfaat kepada negara.\nDalam majlis yang sama, Datuk Seri Profesor Dr. Paras Doshi memaklumkan bahawa matlamat utama yang perlu dicapai adalah memastikan agar setiap doktor mempelajari kaedah mengimbas pesakit secara terus dan seterusnya dapat menyumbang bakti kepada mereka yang memerlukannya semasa menghadapi sebarang krisis atau pandemik kesihatan.\n\u201cSokongan daripada semua pihak amatlah diperlukan bagi memastikan kesinambungan matlamat yang ingin dicapai dapat direalisasikan dengan baik,\u201d tambahnya lagi.\nHospital Tuanku Fauziah kini dijadikan sebagai model teladan atas kejayaannya dalam melaksanakan bidang yang baharu ini. Hal ini telah terbukti dapat mengurangkan beban HTF termasuklah dalam penjimatan kos yang lebih efektif.\nTurut hadir dalam majlis ini ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Ismuni Bohari dan Pengarah Hospital Umum Sarawak, Dr. Ngian Hie Ung." "Lima Hospital Dipilih sebagai Hab Teknologi Kesihatan NTIS\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengenal pasti lima buah hospital di Malaysia yang akan dijadikan sebagai Hab Teknologi Kesihatan Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS).\nMenurut Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin dalam Majlis Pelancaran Hab Teknologi Kesihatan NITS yang diadakan semalam, lima hospital tersebut terdiri daripada Hospital Putrajaya, Hospital Tunku Azizah, Hospital Bera dan Hospital Rembau dan Institut Kanser Negara (IKN).\nKelima-lima lokasi ini akan dikenali sebagai pusat sehenti bagi sektor kesihatan untuk mencungkil potensi bagi menghadapi cabaran sektor kesihatan yang semakin\u00a0 meningkat di negara ini di samping menyediakan pengalaman penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi dengan penggunaan teknologi dan inovasi.\nMenurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Seri Dr Adham Baba, pelaksanaan Hab Teknologi Kesihatan NTIS ini dicadangkan di tiga lokasi di dalam bandar, iaitu Hospital Putrajaya, Hospital Tunku Azizah (Hospital Wanita dan Kanak-Kanak) di Kuala Lumpur dan IKN.\n\u201cKetiga-tiga lokasi ini dipilih atas kesediaan infrastruktur teknologi, tenaga mahir, integrasi dengan teknologi semasa seperti Internet dan 5G, perkakasan dan pemahaman teknologi terkini,\u201d katanya lagi.\nSementara itu, pemilihan dua buah hospital di luar bandar, iaitu Hospital Bera dan Hospital Rembau pula telah dikenal pasti bagi pengujian teknologi seperti robot, Internet Benda dalam perubatan dan kemudahan 4G atau 5G.\nHab Teknologi Kesihatan NTIS merupakan inisiatif MOSTI dengan Malaysian Research Accelator for Technology and Innovation (MRANTI) selaku Sekretariat\u00a0 Utama.\nMenteri MOSTI juga mengumumkan bahawa hab ini akan disokong oleh Kluster Penjagaan Kesihatan Bersepadu MRANTI yang berkeluasan 10 ekar yang akan mempercepat penerokaan dan pembangunan kerja dalam penjagaan kesihatan dan teknologi perubatan, menawarkan program pembangunan kapasiti, makmal dan kemudahan penyelidikan untuk ujian tegasan terhadap idea, prototaip, aplikasi dan pelbagai bidang yang berkaitan.\n(Sumber: Facebook KKM)" "Teknologi Internet Benda dalam Sistem Masjid Pintar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMasjid merupakan tempat ibadat yang penting bagi umat Islam. Pada masa ini, peranan masjid bukan sahaja terhad sebagai tempat ibadah, malah masjid juga digunakan untuk pelbagai aktiviti seperti kuliah agama, majlis jamuan, majlis akad nikah dan kursus. Selain itu, pembinaan taman perumahan yang bertambah dari semasa ke semasa menyebabkan lebih banyak masjid baharu didirikan.\nBagi masjid lama pula, ruang masjid perlu diperluas bagi menampung jumlah jemaah yang kian bertambah. Hal ini menyebabkan penggunaan elektrik seperti lampu, kipas dan penyaman udara semakin meningkat. Di masjid juga sering berlakunya kes kecurian wang tabung masjid dan kehilangan barangan berharga. Oleh yang demikian, pembangunan sistem pintar di dalam masjid adalah diperlukan untuk mengatasi masalah ini.\nKini, Internet telah menjadi suatu keperluan yang amat penting, lebih-lebih lagi setelah dunia dilanda wabak COVID-19. Teknologi komunikasi dan rangkaian Internet pada masa ini adalah semakin jauh lebih baik. Hal ini dibantu dengan kemajuan teknologi tanpa wayar dan keterhubungan digital seperti 4G, Wi-Fi, Bluetooth, dan yang paling baharu ialah 5G. Perkembangan baharu ini telah mewujudkan satu teknologi baharu yang dikenali sebagai Internet Benda (IoT).\nSedar ataupun tidak, masyarakat telahpun menggunakan produk atau perkhidmatan yang melibatkan IoT. Sebagai contohnya, jam tangan pintar yang dapat memantau status kesihatan dan penggunaan Shopee atau Lazada bagi pembelian secara dalam talian. IoT juga tidak hanya memainkan peranan dalam produk pengguna tetapi turut memberikan impak yang sangat besar dalam industri perkilangan dan sebagainya.\nIoT ialah singkatan daripada Internet of Things. Istilah \u201cbenda\u201d dalam istilah ini bermaksud peranti fizikal seperti cip, kamera, sensor, dan peranti lain. IoT merupakan jaringan benda fizikal yang dilengkapi dengan sensor atau penggerak, perisian dan teknologi lain yang bertujuan untuk menyambungkan dan bertukar data dengan peranti lain atau sistem dengan menggunakan Internet.\nCara IoT berfungsi ialah sesuatu objek tersebut akan dilengkapi dengan satu mikropengawal yang boleh berhubung dengan Internet. Objek tersebut juga mempunyai sensor atau penggerak untuk mengambil data atau menggerakkan sesuatu seperti suis dan motor. Objek tersebut akan disambungkan ke platform IoT melalui Internet. Platform tersebut mengambil data daripada pelbagai objek (jika terdapat lebih daripada satu objek) dan menganalisis data yang diperoleh. Data tersebut boleh dilihat oleh pemilik melalui telefon pintar atau tablet.\nSebagai contohnya, dalam aplikasi rumah pintar, objek tersebut mungkin terdiri daripada sensor suhu ruang tamu dan suis pintar penyaman udara yang disambungkan ke Wi-Fi rumah anda. Anda boleh mengakses data bacaan suhu tersebut dan mengawal penyaman udara dengan menggunakan aplikasi di dalam telefon pintar anda.\nTeknologi IoT juga dapat dimanfaatkan untuk kegunaan di masjid. Seperti yang diketahui, terdapat banyak suis di dalam masjid seperti lampu, kipas dan penyaman udara. Kedudukan suis yang berselerak dan tidak sistematik menyebabkan penggunaan secara optimum tidak dapat dilaksanakan. Kehadiran jemaah untuk menunaikan solat di luar waktu juga menyebabkan lampu, kipas dan penyaman udara tidak ditutup.\nHal ini mengakibatkan berlakunya pembaziran dan meningkatkan penggunaan elektrik. Dengan adanya teknologi IoT, sistem masjid pintar dapat dilaksanakan. Baru-baru ini, penulis bersama-sama beberapa orang rakan berkesempatan untuk menjalankan kerja sukarelawan pemasangan sistem masjid pintar bersempena dengan suatu majlis perasmian yang diadakan di sebuah masjid di negeri Perlis.\n\u00a0\nSistem masjid pintar ialah masjid yang dilengkapi dengan sistem pendigitalan. Semua suis bagi lampu, kipas dan penyaman udara di dalam masjid tersebut dapat dikawal dengan menggunakan telefon pintar atau tablet. Perkara penting yang diperlukan bagi pelaksanaan sistem ini ialah suis sentuh Wi-Fi pintar, kemudahan Internet dan telefon pintar atau tablet. Suis sentuh Wi-Fi pintar ini perlu menggantikan suis asal yang terdapat di dalam masjid. Terdapat beberapa jenis suis sentuh Wi-Fi pintar, iaitu satu gang, dua gang, tiga gang, dan empat gang.\nOleh yang demikian, suis asal hanya perlu digantikan dengan suis pintar yang bersesuaian. Untuk sistem pendawaian tanpa wayar neutral bagi kerja penggantian suis yang sedia ada dengan suis pintar ini, kapasitor yang dibekalkan bersama-sama suis pintar tersebut perlu dipasang pada beban yang dipasang, sama ada pada lampu atau kipas. Setelah siap dipasang, logo Wi-Fi pada suis pintar ini akan berkelip-kelip menandakannya telah siap untuk dikonfigurasikan dengan aplikasi di dalam telefon pintar atau tablet. Pemasang juga perlu memastikan Wi-Fi telah siap dipasang di dalam masjid untuk proses konfigurasi yang seterusnya.\n\u00a0\nTerdapat beberapa aplikasi yang telah siap sedia untuk dimuat turun secara percuma seperti Tuya Smart dan Smart Life. Dengan menggunakan aplikasi ini, suis pintar dapat disambungkan ke aplikasi pada telefon pintar atau tablet untuk dikawal oleh pengguna. Aplikasi ini boleh dimuat turun bagi kedua-dua pengguna sistem Android ataupun sistem iOS.\nOleh yang demikian, suis fizikal di dalam masjid dapat dilihat secara maya dan dapat dikawal dengan menggunakan telefon pintar atau tablet. Pengguna juga dapat melihat sama ada lampu, kipas atau penyaman udara dalam keadaan terbuka ataupun tertutup. Selain itu, pengguna juga boleh memuat turun aplikasi Google Home. Dengan menggunakan aplikasi ini, pengguna dapat mengintegrasikan aplikasi Tuya Smart atau Smart Life ke dalam aplikasi Google Home.\nHal ini membolehkan pengguna menyebut arahan suara untuk menghidupkan atau mematikan suis pintar yang terdapat di dalam masjid melalui Google Assistant. Cuba bayangkan pengguna hanya perlu menyebut arahan suara seperti \u201cHai, Google. Tolong buka lampu\u201d, maka semua suis lampu akan dihidupkan secara serentak. Walau bagaimanapun, bagi memastikan arahan suara dapat digunakan di dalam ruang masjid yang luas, peranti tambahan seperti pembesar suara pintar perlu digunakan. Pembesar suara pintar ialah sejenis peranti arahan pembesar suara dengan pembantu maya bersepadu yang menawarkan interaksi dan pengaktifan bebas tangan dengan bantuan satu kata kunci.\nDengan kata lain, pengguna tidak perlu menekan suis di dalam aplikasi yang telah dinyatakan sebelum ini dan hanya perlu menyebut arahan suara. Melalui penggunaan aplikasi ini, pihak masjid dapat memantau penggunaan peralatan elektrik di dalam masjid dengan lebih mudah, efisien dan seterusnya dapat menyumbang kepada penjimatan penggunaan tenaga. Pihak masjid boleh memantau suis pintar ini di mana-mana sahaja mereka berada selagi mempunyai capaian Internet melalui telefon pintar atau tablet.\n\u00a0\nSelain kawalan suis lampu, kipas dan penyaman udara, melalui teknologi IoT juga pihak masjid dapat memantau keadaan masjid dengan menggunakan kamera Protokol Internet (IP), iaitu sejenis kamera video digital yang menerima data kawalan dan menghantar data imej melalui rangkaian IP. Kamera ini berbeza dengan kamera televisyen litar tertutup (CCTV) analog kerana kamera IP tidak memerlukan pemasangan kabel dan monitor.\nKebanyakan kamera IP terdiri daripada kamera web tetapi istilah kamera IP biasanya hanya terpakai kepada kamera yang boleh diakses secara langsung melalui sambungan rangkaian Internet dan sering digunakan untuk pengawasan. Kamera IP boleh dipasang tanpa sambungan wayar video. Kamera IP ini hanya memerlukan soket elektrik untuk bekalan kuasa pada kamera atau boleh menggunakan kuasa solar. Setelah siap dipasang, pengguna boleh memuat turun aplikasi yang dibekalkan oleh pembekal kamera IP. Pihak masjid dapat memantau keadaan di sekeliling melalui telefon pintar atau tablet dengan menggunakan aplikasi tersebut. Memori kad perlu dipasang pada kamera IP supaya proses rakaman dapat direkodkan secara berterusan.\nPenggunaan IoT di dalam institusi masjid dapat ditingkatkan kerana teknologi ini dapat menjimatkan penggunaan elektrik di samping dapat memantau keadaan masjid dan mengelakkan kes kecurian berlaku. Walau bagaimanapun, beberapa faktor yang mengehadkan penggunaan IoT di dalam negara seperti kurangnya kefahaman tentang IoT dan kemudahan Internet yang tidak menyeluruh. Diharapkan agar rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam penggunaan teknologi IoT dalam kehidupan masing-masing.\n\u00a0\nProfesor Madya Ir. Dr. Sohiful Anuar Zainol Murad, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik, Universiti Malaysia Perlis." "Kata Singkatan Menjejaskan Kewibawaan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBahasa berfungsi sebagai alat komunikasi untuk menyampaikan konsep dan pernyataan. Selaras dengan peredaran zaman yang menjadikan teknologi maklumat dan komunikasi sebagai medium komunikasi, masyarakat seharusnya bijak dan peka terhadap penggunaan bahasa yang bersesuaian untuk mengelakkan penggunaan ragam bahasa yang tidak tepat dalam konteks tertentu.\nKewujudan media sosial, seperti Facebook, Instagram, Youtube, Twitter, dan WhatsApp, membolehkan masyarakat berkomunikasi secara maya dalam rangkaian yang lebih luas, seterusnya melewati batas waktu dan jarak fizikal. Menurut Mohd Sobhi dan Azizah Sarkowi, laporan World Stats pada tahun 2017 menunjukkan bahawa pengguna media sosial di Malaysia, khususnya pengguna Facebook mencapai 90 peratus.\nWalaupun medium ini dapat menambahkan kosa kata baharu dalam konteks media sosial, seperti kata \u201cswafoto\u201c , \u201cswafoto bersama\u201c , \u201ctuna foto\u201c , \u201csohor kini\u201c\u00a0dan \u201ctular\u201c, medium ini turut mengundang masalah. Contohnya, penggunaan bahasa singkatan yang menjejaskan kegramatisan struktur kata yang terdapat dalam bahasa Melayu.\nBahasa singkatan merupakan hasil pemendekan huruf atau gabungan huruf yang jelas mempunyai struktur kata yang berbeza daripada struktur kata bahasa Melayu asal seperti yang dinyatakan oleh Kridalaksana. Penggunaan bahasa ringkas dapat menjejaskan kemurnian dan keaslian bahasa Melayu seperti yang dinyatakan oleh Tay Meng Guat dalam artikelnya yang bertajuk \u201cAnalisis Linguistik terhadap Penggunaan Bahasa SMS dalam Kalangan Guru Pelatih\u201d.\nMenurut Nur Azlina Jalaluddin dan Nurhasyinda Shahidan pula, pencemaran bahasa menyebabkan masalah kerancuan bahasa. Rozali Rejab turut menjelaskan bahawa kerancuan bahasa meliputi kecelaruan, kekacauan, pencemaran, kesalahan dan kesilapan dalam penggunaan bahasa. Kerancuan bahasa pasti memberikan kesan terhadap bahasa Melayu, termasuklah penggunaan bahasa singkatan yang digunakan secara meluas dalam media sosial. Oleh hal yang demikian, masalah ini perlu diberikan perhatian serius bagi memastikan martabat bahasa kebangsaan dapat dipelihara daripada gangguan pelbagai anasir yang dapat menjejaskan sistem dan struktur bahasa tersebut.\nPembentukan kata singkatan ini biasanya melalui pelbagai proses. Pertama, pembentukan disebabkan oleh proses pengguguran vokal seperti dalam kata \u201csaya\u201c, \u201ccantik\u201c dan \u201cpula\u201c yang ditulis sebagai sy, cntk dan plk. Kedua, pembentukan disebabkan oleh proses pengguguran konsonan seperti dalam kata \u201cboleh\u201c yang ditulis sebagai bole. Ketiga, pembentukan disebabkan oleh proses pengguguran vokal dan konsonan seperti dalam kata \u201cjuga\u201c, \u201csendiri\u201c, \u201cuntuk\u201c, \u201ctengok\u201c dan \u201cnanti\u201c yang ditulis sebagai gak, sdri, utk, tgk dan nt. \nYang keempat, pembentukan disebabkan oleh proses pengguguran suku kata seperti dalam kata \u201ctidak\u201c, \u201csudah\u201c, \u201cboleh\u201c dan \u201cassalamualaikum\u201c yang ditulis sebagai tak, dah, leh dan askum. Kelima, pembentukan disebabkan oleh penggunaan angka, huruf dan simbol seperti dalam kata \u201cdan\u201c, \u201cdi\u201c, \u201cdua\u201c, \u201csama-sama\u201c, \u201cselepas itu\u201c, \u201ctidak\u201c dan \u201catau\u201c yang ditulis sebagai n, d, 2, sama2, pas2, x dan @. Akhir sekali, pembentukan disebabkan oleh penggantian bahasa Inggeris seperti kata do it yourself, private message dan thank you yang ditulis sebagai DIY, pm dan tq.\nPada dasarnya, penggunaan bahasa singkatan berlaku disebabkan oleh kebebasan bersuara dalam media sosial. Sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi, Malaysia memberikan kebebasan bersuara kepada rakyatnya. Konsep kebebasan bersuara ini diperuntukkan di bawah perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan. Namun begitu, konsep kebebasan bersuara ini disalah tafsir oleh sesetengah individu yang menganggap bahawa mereka bebas meluahkan pendapat walaupun dengan cara yang salah. Begitu jugalah yang berlaku dalam penggunaan kata singkatan kerana penulis bebas menulis pandangan dalam bentuk yang diinginkan.\nSelain itu, pengaruh media sosial merupakan faktor yang menyebabkan berlakunya penggunaan bahasa singkatan dalam media sosial. Menurut Nik Lah, penutur mementingkan isi mesej dan kepantasan menghantar mesej berbanding dengan penggunaan bahasa yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, struktur ayat dan gaya bahasa.\nTambahan pula, penggunaan bahasa singkatan dianggap sebagai trend dalam penulisan mesej di media sosial. Oleh itu, seseorang individu itu akan dianggap sebagai ketinggalan zaman, berfikiran konvensional dan tidak kreatif jika menggunakan cara penulisan yang mengikut struktur nahu yang betul.\nPenggunaan bahasa singkatan yang tidak terkawal boleh menjejaskan martabat bahasa Melayu. Selagi pembaca memahami maksud perkataan yang ingin disampaikan, pematuhan terhadap penggunaan bahasa yang betul tidak akan dititikberatkan.\u00a0 Prof. Emeritus Dato\u2019 Dr. Teo Kok Seong pula berpendapat bahawa amalan komunikasi di media sosial banyak mengubah sifat kata bahasa Melayu apabila golongan muda suka bereksperimen dan mengambil risiko ketika berbahasa, yang akhirnya membuka ruang kepada kemerosotan kualiti bahasa Melayu itu sendiri.\nSeterusnya, penggunaan bahasa singkatan yang tidak terkawal menyebabkan kekeliruan berbahasa. Menurut Zaidi Ismail, kualiti bahasa kini ditentukan oleh pengguna. Kuasa penentuan penggunaan bahasa, sama ada mematuhi peraturan linguistik yang tepat atau tidak bergantung sepenuhnya kepada pengguna. Apabila pengguna tidak menitikberatkan penggunaan bahasa yang betul, kualiti bahasa yang digunakan dalam media sosial menjadi celaru, yang akhirnya menimbulkan kekeliruan berbahasa, selain menyebabkan pengguna bahasa tidak dapat membezakan cara ejaan kata yang tepat kerana amalan ini menjadi rutin dalam komunikasi harian.\nMedia sosial banyak membantu untuk menyampaikan komunikasi kerana sifatnya yang mudah, murah dan pantas. Namun begitu, kerancuan bahasa yang digunakan dalam medium tersebut seperti penyingkatan kata merupakan masalah yang boleh menjejaskan kemahiran berbahasa penutur, malah menggugat bahasa Melayu itu sendiri. Oleh hal yang demikian, pengguna perlu peka akan perkara ini dan meminimumkan penggunaan bahasa yang tidak tepat termasuklah, bahasa singkatan ketika berkomunikasi. Pengguna juga harus bijak menggunakan bahasa yang betul mengikut situasi supaya citra dalam penggunaan bahasa yang betul dapat diteladani oleh semua pihak." "Penyelidik Muda Tempatan Terima Geran Penyelidikan Dr. Ranjeet Bhagwan Singh\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Majlis pengumuman penerima Geran Penyelidikan Dr. Ranjeet Bhagwan Singh 2022 telah berlangsung di Asian International Arbitration Centre (AIAC), Kuala Lumpur baru-baru ini.\nDalam majlis tersebut, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBrs. Dr. K. Nagulendran menyatakan bahawa mendiang Dr. Ranjeet telah mewasiatkan keseluruhan hartanya yang dianggarkan berjumlah RM1 juta untuk digunakan bagi tujuan penyelidikan pada setiap tahun hingga kini.\nTambah beliau, tindakan tersebut jelas menunjukkan bahawa mendiang Dr. Ranjeet merupakan seorang individu yang memiliki visi dan melihat kepentingan konsep filantropi bagi menyokong penyelidik muda tempatan tanpa mengira bangsa dan agama.\nYBrs. Dr. K. Nagulendran kemudiannya mengumumkan penerima Geran Penyelidikan Dr. Ranjeet Bhagwan Singh 2022, iaitu Profesor Madya Dr. Tan Jun Jie dari Universiti Sains Malaysia. Beliau menerima geran penyelidikan berjumlah RM50 000 dengan hasil penyelidikan beliau yang bertajuk Preclinical Assessment of Human Induced Pluripotent Stem Cell-derived Pre-epicardial Cell/Cardiomyocyte Theraphy in Acute Myocardial Infarcted Rat Hearts. Penyelidikan yang dihasilkan ini bertujuan untuk mencipta sel jantung daripada sel stem untuk merawat serangan jantung.\nMendiang Dr. Ranjeet ialah seorang saintis penyelidikan perubatan tanah air terkemuka dan telah memberikan sumbangan yang tidak ternilai dalam bidang perubatan dan saintifik, khususnya dalam pembangunan makmal diagnostik di Malaysia.\nMenurut beliau lagi, mendiang Dr. Ranjeet juga telah mewujudkan Dr. Ranjeet Bhagwan Singh Medical Research Endowment Fund sejak tahun 1982 dengan menyumbang dana awal berjumlah RM50 000. Seluruh hartanya yang dianggarkan berjumlah RM1 juta diuruskan oleh MOSTI dan Akademi Sains Malaysia (ASM) menerusi Akaun Amanah Tabung Penyelidikan Perubatan Dr. Ranjeet Bhagwan Singh untuk digunakan bagi tujuan berkenaan.\nSelain peruntukan kerajaan, MOSTI juga mengawal selia Geran Penyelidikan Dr. Ranjeet Bhagwan Singh. Geran ini kekal menjadi komitmen MOSTI bersama-sama ASM untuk menyokong penyelidik muda tempatan melakukan penyelidikan dalam bidang perubatan dan saintifik.\nGeran penyelidikan yang diuruskan menerusi Akaun Amanah Tabung Penyelidikan Perubatan Dr. Ranjeet Bhagwan Singh sejak tahun 1997 ini telah diberikan kepada 26 orang penyelidik muda dengan jumlah dana sebanyak RM632 265.00.\nTurut hadir dalam majlis tersebut ialah Presiden ASM, Profesor Emerita Datuk Dr. Asma Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif ASM, Puan Hazami Habib." "DBP Mengekalkan Rentak Kemenangan dalam Anugerah PERSAMA 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNilai \u2013 Usaha berterusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menyebarluaskan ilmu Sains dalam bahasa kebangsaan terus mendapat pengiktirafan apabila memenangi dua kategori anugerah menerusi penulisnya dalam Anugerah PERSAMA 2022. Kategori yang dimenangi ialah Kategori Buku Karya Asli dan Kategori Rencana Popular. Dengan tema Sains Matematik Wahana Pembentukan Ilmuwan Cemerlang Demi Kesejahteraan Sejagat, majlis anugerah ini meneruskan keunikannya untuk kali kedua apabila diadakan secara dalam talian pada 8 September 2022 menerusi aplikasi Microsoft Teams.\nBagi Kategori Buku Karya Asli, kumpulan artikel yang diketuai oleh Profesor Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain dinobatkan sebagai pemenang utama dengan buku bertajuk Unsur Etnosains Matematik Malayonesia (Jilid 2 dan 3). Buku ini ialah Siri Monograf Sejarah Bahasa Melayu yang ditangani oleh Puan Normala Mohd Yusof, Editor dari Bahagian Buku Bahasa, DBP.\nBagi Kategori Rencana Popular pula, artikel Dr. Kassim Bahali dipilih sebagai pemenang Hadiah Sanjungan dengan tajuk artikel \u201cHubungan Matematik dengan Astronomi dalam Penentuan Waktu Solat\u201d. Artikel yang diterbitkan dalam Dewan Kosmik keluaran Disember 2021 ini ditangani oleh Puan Ritah Yahaya, Editor dari Bahagian Majalah, DBP.\nMenurut Puan Ritah Yahaya, sebagai kolumnis, Dr. Kassim tidak lokek berkongsi ilmu dan kepakaran beliau dengan khalayak pembaca Dewan Kosmik berkaitan dengan bidang Sains, khususnya dalam bidang Astronomi. Malah, artikel beliau disampaikan dengan sangat baik serta mudah, dan dijelaskan dengan menarik dan berkesan dalam bahasa kebangsaan. Menurut Puan Ritah lagi, anugerah PERSAMA ini merupakan anugerah berprestij yang menjadi platform terbaik untuk memberikan pengiktirafan kepada penulis terbaik di negara ini mengikut genre masing-masing dalam bidang Sains dan Matematik. Anugerah ini sewajarnya diteruskan dan diangkat sebagai anugerah pada peringkat negara.\nMajlis Anugerah PERSAMA 2022 ini diadakan bersempena dengan Simposium Kebangsaan Sains Matematik (SKSM) ke-29 yang dianjurkan secara bersama-sama oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Persatuan Sains Matematik (PERSAMA). Simposium ini juga diadakan secara maya selama dua hari, iaitu pada 7 September hingga 8 September 2022.\nMenurut\u00a0Dekan Fakulti Sains dan Teknologi USIM, Profesor Dr. Rosalina Abdul Salam,\u00a0 selaku perasmi bagi majlis ini, objektif simposium ini masih mampu tercapai walaupun diadakan secara maya. Usaha penganjuran ini juga diharapkan mampu menjadi wadah untuk memupuk dan menanamkan ilmu Matematik dalam diri setiap individu bermula daripada peringkat awal. Hal ini penting supaya sasaran kerajaan, iaitu nisbah 60 peratus pelajar Sains dan 40 peratus pelajar Sastera tercapai, walaupun permintaan terhadap aliran Sains menunjukkan aliran penurunan.\nBagi Presiden PERSAMA, Profesor Dr. Maslina Darus pula yang merupakan, misi PERSAMA adalah untuk meletakkan Sains dan Matematik pada tahap yang tinggi. Tanggungjawab ini perlu digalas walaupun terpaksa menempuhi pelbagai rintangan dan cabaran, terutamanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Hasilnya, bagi penganjuran SKSM kali ini, sebanyak 146 penyertaan diterima daripada pelbagai universiti, institusi penyelidikan, penerbit serta sekolah untuk tujuh kategori Anugerah PERSAMA yang dipertandingkan.\nSelain dua kategori yang dimenangi oleh DBP ini, Anugerah PERSAMA ini juga turut mempertandingkan lima kategori yang lain. Kategori Tesis Doktor Falsafah dimenangi oleh Dr. Iskandar Waini dengan tesis bertajuk \u201cAliran Lapisan Sempadan dan Pemindahan Haba pada Permukaan Meregang/Mengecut dalam Nanobendalir Hibrid\u201d. Kategori Makalah Ilmiah dimenangi oleh Profesor Dr. Zanariah Abdul Majid, Puan Nur Tasnem Jaaffar dan Profesor Madya Dr. Norazak Senu dengan tajuk \u201cNumerical Computation of Third Order Delay Differential Equations by Using Direct Multistep Method\u201d.\nSeterusnya, Kategori Reka Cipta Matematik dimenangi oleh Profesor Madya Dr. Norhayati Rosli, Encik Muhammad Fahmi Ahmad Zuber dan Dr. Noryanti Muhammad dengan menghasilkan rekaan yang bertajuk \u201cPandemic Preparedness Simulation Tool\u201d. Kategori Buku (Karya Terjemahan) pula tidak memperoleh sebarang penyertaan, manakala Kategori Tesis (Sarjana) tidak mempunyai pemenang.\nSelain pemenang Anugerah PERSAMA, turut disampaikan Anugerah Felo PERSAMA 2022. Anugerah ini diberikan kepada Profesor Dr. Suzeini Abd Halim, dari Jabatan Matematik, Universiti Malaya (UM) yang telah menghasilkan lebih daripada 100 penulisan ilmiah dan akademik.\nSebagai penutup,\u00a0Pengerusi SKSM ke-29, Profesor Madya Dr. Nurfadhlina Abdul Halim\u00a0 berharap agar SKSM meneruskan kerelevenannya sebagai medium untuk menyampaikan ilmu pengetahuan dalam bidang Sains dan Matematik. Sebelum majlis berakhir, Pengerusi SKSM ke-29 ini menyerahkan penganjuran SKSM yang seterusnya kepada Universiti Malaysia Perlis." "MNIG Himpun Pemain Industri Nanoteknologi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Bersempena dengan majlis penutupan rasmi Program Nanoteknologi Kebangsaan (NanoKEB) 2022, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba telah melancarkan Malaysia Nanotechnology Industrial Group (MNIG) yang menghimpunkan pemain industri nanoteknologi di Malaysia.\nMNIG disasarkan untuk menjadi pelantar terbaik ke arah pelibatan lebih banyak industri, terutamanya bagi sektor perusahaan kecil dan sederhana serta pemain ekosistem inovasi tempatan dalam bidang teknologi untuk mengurangkan jurang ekosistem nanoteknologi negara.\nMenurut YB Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba, penubuhan MNIG ini mampu membantu industri nanoteknologi pada peringkat serantau dengan mengambil peluang perkembangan pasaran nanoteknologi Asia Pasifik yang diunjurkan mencapai lebih USD2.6 trilion pada tahun 2025.\nEkonomi negara dapat dipacu melalui teknologi dan produk nano tempatan sekali gus mencapai nilai pasaran pada peringkat global dan Asia Pasifik dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai pengeksport utama produk berasaskan teknologi tinggi pada peringkat ASEAN.\nSelain itu, sumbangan PKS dalam industri nanoteknologi berpotensi tinggi terhadap ekonomi negara. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat lebih daripada 900 produk dengan teknologi nano berada dalam pasaran Malaysia yang bernilai RM381.8 juta pada tahun 2020. Nilai jualan produk nano tempatan yang telah mendapat pensijilan NanoVerify juga telah meningkat kepada RM441.9 juta dan diunjurkan terus meningkat kepada RM490.1 juta pada tahun ini.\nTambah beliau lagi, banyak faedah sosioekonomi akan dinikmati oleh Keluarga Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang seperti yang telah disarankan dalam Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara 2021-2025.\nAntara faedah sosioekonomi yang dapat diperoleh termasuklah penciptaan lebih tiga puluh ribu peluang pekerjaan baharu, terutamanya yang berkemahiran tinggi, penghasilan lebih 50 orang usahawan nano dan potensi sumbangan lebih RM150 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025.\nMNIG akan mewakili industri nanoteknologi di Malaysia dan dianggotai oleh wakil industri berkaitan dengan nanoteknologi. MNIG juga berperanan sebagai medium untuk menjalin kerjasama erat antara syarikat nanoteknologi, PKS dan pemegang taruh yang lain serta membantu penyelarasan antara syarikat dalam rantaian bekalan produk teknologi nano.\nDi samping itu, MNIG turut bertanggungjawab menawarkan perkhidmatan pentadbiran, nasihat atau kawalan kewangan, sokongan dan maklumat kesetiausahaan kepada ahlinya selain menyediakan perwakilan industri, nasihat peraturan, advokasi perniagaan, pensijilan pengesahan, dan keselamatan serta bantuan nasihat yang kos efektif dalam bidang dasar industri." "Dasar Bioteknologi Negara 2.0 Memperkasa Sektor Bioteknologi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cDasar Bioteknologi Negara (DBN) 2.0 merupakan dasar signifikan dalam usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk melengkapkan ekosistem sains, teknologi dan ekonomi bagi memacu perkembangan Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang berteknologi tinggi menjelang tahun 2030. Sejak pelaksanaan DBN pada tahun 2005, industri ini memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi,\u201d ujar Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob dalam Majlis Pelancaran DBN 2.0, semalam.\nMenurut beliau, hingga September 2001, sebanyak 2058 buah syarikat berstatus Bionexus yang meliputi 144 buah syarikat bioteknologi pertanian, 72 buah syarikat bioteknologi perubatan dan 42 buah syarikat teknologi perindustrian. 15 buah syarikat daripada senarai syarikat ini telah tersenarai dalam bursa saham serantau dan utama.\nBerdasarkan Global Biotechnology Report yang dikeluarkan oleh IBISWorld, industri bioteknologi global pada tahun 2022 bernilai USD307.5 billion. Revolusi Perindustrian 4.0 turut menyumbang kepada gelombang baharu bioinovasi yang dikenali sebagai biorevolusi. Biorevolusi mampu menjadi sumber pertumbuhan baharu kepada Malaysia termasuklah bagi melahirkan syarikat pemula berasaskan bio selain mewujudkan peluang pekerjaan memandangkan Malaysia mempunyai kekayaan biodiversiti yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya.\nDalam majlis tersebut, beliau turut menyatakan bahawa Malaysia juga menghantar lebih daripada 100 orang penyelidik dalam bidang bioteknologi untuk menjalani latihan dan membentuk rangkaian antarabangsa termasuklah di Amerika Syarikat, Jepun dan United Kingdom.\nTambah beliau lagi, antara impak positif yang dapat dilihat ketika negara dilanda pandemik COVID-19 termasuklah sumbangan kepakaran daripada penyelidik bioteknologi dalam penjujukan dan analisis genom. Malaysia juga yakin mampu menjadi hab penghasilan sustainable aviation fuel kerana faktor cuaca dalam penghasilan alga untuk bahan tersebut.\nSementara itu, hasil kajian impak mendapati bahawa terdapat empat cabaran utama yang perlu dimantapkan, iaitu kekurangan sumber pembiayaan untuk membawa teknologi dan industri ke peringkat yang lebih tinggi melepasi penyelidikan dan pembangunan, mekanisme pengesanan kemajuan sesuatu usaha niaga dan pembiayaan, aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang tidak terhubung di pelbagai institusi serta kekurangan usaha sama dalam menyerlahkan keupayaan sebenar sektor bioteknologi tempatan.\nBioteknologi merupakan komponen penting dalam bioinovasi bagi memacu pembangunan negara dan harus dibangunkan bersama-sama teknologi lain. Malaysia diiktiraf pada peringkat antarabangsa sebagai satu daripada 17 buah negara megadiversiti berikutan terdapat sekurang-kurangnya 5000 tumbuhan asli serta ekosistem marin yang tersendiri. Kejayaan biodiversiti ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya bagi melonjakkan ekonomi negara.\nBagi menyokong komitmen ini, kerajaan telah memberikan inspirasi baharu melalui penggubalan DBN 2.0\u00a0 dengan menambah baik strategi dalam DBN yang terdahulu selaras dengan perkembangan teknologi pada peringkat global. DBN 2.0 juga akan memastikan bidang bioteknologi berkembang pesat dan maju selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.\nSelain itu, DBN 2.0 juga akan memperkukuh ekosistem bioteknologi yang sedia ada serta menjadi pemangkin dalam menyelesaikan cabaran negara berkaitan dengan sekuriti makanan, pengurusan pandemik dan krisis perubahan iklim menerusi kaedah penyelesaian bioteknologi tempatan.\nBagi memperkasa sektor bioteknologi, DBN 2.0 akan memberikan tumpuan pada tiga tunjang utama, iaitu bioteknologi pertanian dan jaminan makanan, bioteknologi penjagaan kesihatan dan kesejahteraan serta bioteknologi perindustrian dan ekonomi kitaran.\nMengulas lebih lanjut tentang hal ini, beliau menyatakan bahawa DBN 2.0 bakal memacu momentum yang telah digariskan di bawah Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 untuk mentransformasikan Malaysia daripada negara pengguna teknologi kepada negara pembangun teknologi. MOSTI akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi menjayakan sasaran utama dalam DBN 2.0.\nCabaran dan kekangan yang dihadapi oleh negara pada ketika ini ialah kekurangan pembiayaan susulan untuk pengkomersialan dan kekurangan bakat dalam kepakaran khusus. Semua pihak berkepentingan perlu menggembleng tenaga bagi menyokong ekosistem bioteknologi negara.\nPenubuhan Gabungan Pusat Penyelidikan Bioteknologi Malaysia melibatkan semua institusi dan institut penyelidikan berasaskan bioteknologi, yang mengendalikan dan mengemudi penyelidikan, berdasarkan permintaan industri dan kepentingan strategik negara. Oleh itu, sebuah badan penasihat pakar bioteknologi akan diwujudkan menerusi gabungan ini bagi menggerakkan agenda negara dengan lebih berfokus dan berasaskan kekuatan negara seperti mendalami kekayaan biodiversiti negara yang boleh memperkasa tiga sektor bioteknologi seperti yang termaktub dalam DBN 2.0.\nMengakhiri ucapannya, beliau memberikan jaminan bahawa kerajaan sentiasa menyokong penuh DBN 2.0 dan berasa yakin dasar ini akan memberikan impak positif kepada Keluarga Malaysia dalam memacu sosioekonomi negara ke arah kualiti hidup yang lebih baik berasaskan kepakaran dan inovasi tempatan.\nTurut hadir dalam majlis pelancaran DBN 2.0 tersebut ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba." "Mengurangkan Risiko Fenomena Kepala Air\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDewasa ini, kerap kali berlakunya perubahan cuaca yang melampau dan sukar dijangka. Selain keadaan cuaca yang panas dengan suhu yang tinggi, Malaysia juga tidak terkecuali menerima jumlah hujan yang lebih banyak. Taburan hujan yang tinggi dan tidak menentu menyebabkan kebanyakan kawasan sungai di Malaysia berisiko tinggi untuk berlakunya fenomena kepala air, terutamanya ketika hujan lebat.\nHujan yang lebat dan berterusan boleh menyebabkan lapisan tanah terganggu lalu menjadi tepu dengan air, meningkatkan tekanan air di dalam tanah dan akhirnya melonggarkan ikatan tanah. Tanah ini kemudiannya mengalir ke cerun akibat tindak balas graviti. Tanah yang berada di cerun yang curam akan kehilangan kestabilan lalu menggelincir runtuh ke dalam sungai.\nRuntuhan gelinciran tanah ini membawa bersama-sama timbunan puing yang terdiri daripada bongkah batuan, kerikil, pasir, lodak, lumpur dan tumbuh-tumbuhan di sepanjang tebing sungai termasuklah kayu, daun yang reput dan bahan binaan manusia. Runtuhan ini seterusnya membentuk aliran puing dengan pergerakan yang sangat pantas.\nAliran puing melibatkan tiga mekanisme utama, iaitu (i) tanah runtuh di kawasan bercerun curam yang dicetuskan oleh hujan lebat dan tanah tepu air, (ii) longgokan puing dan lumpur di kaki bukit dan kawasan landai di sekitarnya serta (iii) aliran lumpur dan puing di sepanjang alur dari kawasan pergunungan hingga ke kaki gunung.\nPada kebiasaannya, aliran puing ini bermula dari hulu sungai di kawasan pergunungan dan mempunyai halaju yang tinggi, iaitu 14 meter hingga 15 meter sesaat. Aliran puing ini juga menyebabkan perubahan morfologi yang signifikan di sepanjang dasar sungai dan di lereng gunung. Faktor lain yang menyebabkan terjadinya fenomena kepala air meliputi faktor geologi, iaitu jenis tanah dan batuan, bentuk lembangan, struktur batuan dan faktor bukan geologi yang merangkumi pembersihan hutan di kawasan bertebing curam, potongan cerun untuk membina prasarana seperti jalan raya dan pembukaan tanah untuk pertanian.\nFenomena kepala air berupaya menyebabkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa seperti yang berlaku di Gunung Jerai dan Gunung Inas Kedah pada 18 Ogos 2022 lalu. Lazimnya, fenomena kepala air boleh dikesan melalui beberapa tanda awal seperti perubahan warna air daripada jernih kepada gelap atau kehitaman, aliran air yang tenang bertukar deras selain sampah sarap yang berkumpul di satu-satu tempat.\nKepala air ini boleh mencapai ketinggian antara satu meter hingga dua meter dalam masa lima minit hingga 10 minit, manakala kelajuannya boleh mencapai antara dua meter sesaat hingga 10 meter sesaat. Ada kalanya, kepala air ini menghasilkan bunyi yang kuat. Oleh itu, sekiranya orang ramai yang bermandi-manda di kawasan rekreasi mendengar bunyi seakan-akan letupan yang kuat ataupun luar biasa, anda dinasihatkan untuk segera meninggalkan kawasan sungai tersebut.\nSejak tahun 2021, Malaysia sedang mengkaji keberkesanan teknologi empangan sabo yang diguna pakai di luar negara seperti di Jepun sebagai struktur mitigasi bencana kepala air dan pencegahan hakisan di kawasan yang berisiko tinggi. Malaysia melalui Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) telah berhubung dengan Kedutaan Jepun dan institut pendidikan di Jepun untuk membantu mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk dipasang empangan sabo. Tiga kawasan yang telah dicadangkan untuk pemasangan empangan ini ialah di kaki Gunung Kinabalu, Sabah; Gunung Jerai, Kedah; dan Gunung Inas, Kedah.\nPerkataan sabo berasal daripada bahasa Jepun, iaitu sa dan bo yang bermaksud kerja kawalan hakisan dan endapan. Dalam istilah lain, sabo bermaksud tindak balas antara batu dengan pasir. Pembinaan empangan sabo merupakan kaedah kejuruteraan untuk mengurangkan risiko kejadian kepala air dengan mengawal aliran kayu, batu dan sedimen serta menstabilkan tebing atau dasar sungai dari kawasan tanah tinggi. Empangan ini mampu melindungi manusia, infrastruktur dan ekosistem sungai, terutamanya di hilir sungai daripada ancaman bencana hakisan dan endapan.\nFaktor pemilihan kawasan untuk pembinaan empangan sabo ialah alur sungai relatif yang lurus dan lebar, tebing sungai yang tinggi dan kawasan yang mempunyai kebolehupayaan tanah yang baik. Pembinaan empangan sabo yang bernilai antara RM20 juta hingga RM40 juta adalah untuk memastikan pokok yang tumbang, batu besar dan sampah sarap tidak menuju ke hilir sekiranya aliran air deras berlaku di samping memperlahankan aliran air. Hal ini akan membantu mengelakkan kemusnahan besar kepada kawasan yang berada di bahagian bawah tebing sungai.\nEmpangan sabo yang dibina di Gunung Jerai, Kedah kini telah mencapai 50 peratus pembinaanya dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2023. Empangan ini dijangka mampu meminimakan impak besar sekiranya berlaku kejadian kepala air di kawasan peranginan Titi Hayun, Seri Perigi dan Batu Hampar.\nMenurut Pengerusi Sekretariat Bencana Daerah Yan, Mohamad Subhi Abdullah, projek yang menelan kos sebanyak RM22.8 juta itu akan berperanan sebagai penampan atau pengempang bagi pergerakan kayu dan batuan bersaiz besar semasa aliran air deras di kaki Gunung Jerai. Empangan sabo ini juga diharapkan dapat meminimumkan kesan bencana yang timbul akibat hujan lebat yang melampau dengan menghalang bahan puing daripada jatuh ke bawah.\nSelain mitigasi melalui pembinaan empangan sabo, pelan pengurusan dan pemantauan secara bersepadu dalam pengurusan kejadian fenomena kepala air perlu diwujudkan di kawasan berisiko bagi menangani fenomena itu dengan berkesan. Antara tindakan yang disyorkan menerusi pelan ini termasuklah memasang papan tanda amaran kejadian fenomena kepala air, sistem ramalan dan amaran pada masa nyata, sistem pemantauan sensor pergerakan tanah dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kritikal.\nDi samping itu, kumpulan pasukan petugas untuk memantau kejadian kepala air juga perlu diwujudkan. Kaedah pelan pencarian, menyelamat serta pemindahan semasa kejadian fenomena kepala air perlu disediakan mengikut kepentingan dan keselamatan pelancong serta penduduk setempat. Pada masa yang sama, pembinaan lorong kecemasan untuk pengunjung melarikan diri dari kawasan sungai atau air terjun yang berlaku kejadian fenomena kepala air turut disarankan.\nKerajaan negeri Kedah melalui Jabatan Pengairan dan Saliran telah membangunkan sistem amaran aliran puing yang dikenali sebagai Sistem Amaran Banjir Kepala Air (SABKA) di kawasan Gunung Jerai sebagai usaha membantu penduduk setempat daripada risiko kehilangan nyawa melalui kaedah pengawalan aliran batu, kayu dan sedimen semasa kejadian aliran sungai yang tinggi seperti fenomena kepala air. Selepas berlakunya beberapa kejadian fenomena kepala air di negeri tersebut, kerjasama di antara agensi perlu dipertingkat dan diperkemaskan bagi pengesanan awal sesuatu kejadian.\nSelain itu, kerjasama antara semua jabatan dan agensi di setiap negeri diperlukan bagi memastikan kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan yang timbul akibat fenomena kepala air. Di Kedah misalnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah telah mewujudkan pasukan khas yang dikenali sebagai Bomba Komuniti di daerah yang berisiko tinggi berlakunya kepala air. Bomba Komuniti ialah pasukan yang terdiri daripada ketua kampung, penghulu dan penduduk yang diberikan latihan asas menyelamatkan mangsa sekiranya berhadapan dengan bencana seperti fenomena kepala air." "Menjamin Sekuriti Makanan Negara melalui Biosekuriti Tanaman\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSeremban \u2013 Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Pertanian telah menganjurkan Simposium Biosekuriti Tumbuhan 2022 yang bertemakan \u201cPemerkasaan Biosekuriti Tumbuhan Menjamin Sekuriti Makanan Negara\u201d dan dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, semalam.\nDalam ucapan perasmiannya, Yang Berhormat Datuk Dr. Ronald Kiandee berkata Jabatan Pertanian yang merupakan sebahagian daripada Organisasi Perlindungan Tumbuhan Kebangsaan perlu memastikan pelaksanaan biosekuriti tanaman dan tumbuh-tumbuhan sebagai keutamaan ke arah amalan pertanian yang mampan.\nPeruntukan pembangunan MAFI melalui Rancangan Malaysia Ke-11 dan Rancangan Malaysia Ke-12 membabitkan pelaksanaan pelbagai program termasuklah penambahbaikan sistem kemudahan import dan eksport bagi memenuhi pematuhan piawaian sanitasi dan fitosanitasi antarabangsa.\nTambahnya lagi, peruntukan ini juga adalah untuk memastikan sistem biosekuriti negara sentiasa tersedia untuk melindungi sektor pertanian dan biodiversiti negara daripada kemasukan dan kemerebakan perosak serta penyakit tanaman.\n\u201cHal ini disebabkan oleh hampir 40 peratus tanaman makanan musnah akibat serangan perosak dan penyakit tumbuhan pada setiap tahun dan Malaysia juga tidak terkecuali dalam menghadapi fenomena ini. Hal ini juga menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan kos yang besar untuk pengurusan dan program penghapusan,\u201d jelasnya lagi.\nMenurutnya, semua agensi di bawah MAFI telah diarahkan untuk bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan ketika Monsun Timur Laut pada tahun ini yang dijangka bermula pada November hingga Mac tahun depan.\n\u201cSelain bantuan disalurkan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir, tumpuan juga akan diberikan kepada usaha bagi memastikan aspek keselamatan makanan. Hal ini disebabkan oleh banjir merupakan antara ancaman tahunan yang sering dihadapi dalam sektor agromakanan.\nSimposium Biosekuriti Tumbuhan 2022 yang berlangsung selama dua hari ini adalah untuk meningkatkan kesedaran berkaitan dengan kepentingan biosekuriti tumbuhan kepada kumpulan sasar. Simposium ini juga diharapkan dapat menyalurkan maklumat teknikal kepada golongan sasar seperti jabatan dan agensi di bawah MAFI, institusi penyelidikan, pengeksport, pengimport, persatuan yang berkaitan dengan pengeksportan dan pengimportan hasil pertanian serta entiti yang berkaitan dengan agropelancongan selain membentuk jaringan kerjasama dan perkongsian maklumat serta kepakaran antara Jabatan Pertanian dengan kumpulan sasar.\nMajlis Perasmian Simposium Biosekuriti Tumbuhan 2022 boleh ditonton secara langsung secara dalam talian melalui laman Facebook MAFI." "Mod Malam Haiwan Nokturnal\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNokturnal merujuk kumpulan haiwan yang hanya aktif pada waktu malam, manakala pada waktu siang, haiwan ini akan tidur dan berehat. Secara umumnya, haiwan nokturnal mempunyai deria pendengaran, bau dan penglihatan yang disesuaikan secara khusus dengan waktu malam. Misalnya, haiwan seperti kucing, musang, dan burung hantu mempunyai mata yang boleh menyesuaikan diri dengan tahap pencahayaan yang rendah dan berfungsi dengan baik pada waktu malam.\nSelain itu, haiwan nokturnal seperti kera hantu dan beberapa spesies burung hantu mempunyai sepasang mata yang besar berbanding dengan saiz badan untuk mengimbangi tahap cahaya yang lebih rendah pada waktu malam. Selain itu, haiwan nokturnal ini juga mempunyai kornea mata yang lebih besar berbanding dengan saiz mata haiwan diurnal bagi meningkatkan sensitiviti visual dalam keadaan cahaya yang malap.\nDalam ekologi, nic ialah padanan spesies dengan keadaan persekitaran tertentu. Hubungan ini menerangkan cara haiwan bertindak balas terhadap pengagihan sumber dan pesaing dalam satu-satu wilayah dan seterusnya mengubah faktor yang sama dalam mengehadkan akses kepada sumber oleh organisma lain dengan bertindak sebagai sumber makanan untuk pemangsa.\nKeaktifan haiwan nokturnal pada waktu malam adalah satu daripada cara haiwan ini membentuk nic dengan haiwan yang aktif pada waktu siang. Secara umumnya, nic spesies tidak dibahagikan mengikut jumlah sumber tetapi mengikut jumlah masa, iaitu pembahagian nic ekologi di satu-satu kawasan. Misalnya, burung helang dan burung hantu memburu tikus di padang rumput yang sama. Namun begitu, burung helang ialah diurnal, manakala burung hantu bersifat nokturnal. Hal ini bermakna kedua-dua spesies haiwan yang berbeza ini tidak perlu bersaing untuk mendapatkan mangsa pada waktu yang sama.\nSelain itu, faktor pemisah (nic) antara kumpulan diurnal dengan nokturnal ialah pengurangan persaingan dalam pendebungaan. Agen pendebunga seperti rama-rama, kumbang dan kelawar yang aktif pada waktu malam mempunyai risiko yang lebih rendah untuk dilihat oleh pemangsa. Secara lazimnya, tumbuh-tumbuhan juga menghasilkan pengeluaran bau dan haba persekitaran untuk menarik agen pendebungaan pada waktu malam.\nPemerhatian hidupan liar merupakan amalan pengambilan data atau maklumat haiwan di lapangan untuk tujuan penyelidikan atau rekreasi semata-mata. Secara lazimnya, banyak dapatan penting boleh ditemui mengenai alam sekitar dengan pemerhatian hidupan liar di lapangan.\nSecara umumnya, pemerhatian haiwan diurnal pada waktu siang adalah lebih mudah berbanding dengan membuat pemerhatian ke atas haiwan nokturnal. Sebelum membuat pemerhatian di lapangan, maklumat asas tentang sesuatu haiwan perlu diperoleh yang melibatkan beberapa persoalan seperti yang berikut:\nPemerhatian haiwan nokturnal pastinya lebih sukar kerana pengkaji perlu berjalan dalam kegelapan malam dengan bantuan lampu suluh dan lebih berhati-hati kerana haiwan berbisa seperti ular, lipan dan kala jengking biasanya keluar pada waktu malam. Pemerhati hidupan liar juga perlu berjalan dengan senyap menggunakan deria pendengaran, penglihatan dan bau untuk mengesan kehadiran haiwan nokturnal di sekitarnya.\nDaripada pemerhatian pengalaman penulis, haiwan nokturnal lebih mudah ditemui sewaktu bulan gelap. Mata haiwan nokturnal juga akan bertindak balas dengan cahaya lampu suluh yang membolehkan pengkaji mengenal pasti spesies haiwan tersebut.\nDengan kecanggihan teknologi kini, kaedah pemerhatian haiwan di lapangan telah mengalami inovasi. Teknologi perangkap kamera yang digunakan dalam perekodan hidupan liar di lapangan adalah sangat meluas pada masa ini. Pengkaji hidupan liar akan meletakkan perangkap kamera di lokasi yang strategik seperti di laluan haiwan, kubang dan jenut garam.\nPerekodan hidupan liar menggunakan perangkap kamera yang berfungsi secara automatik. Oleh itu, haiwan nokturnal yang biasanya susah untuk dilihat secara langsung akan direkodkan apabila haiwan tersebut melalui kawasan yang diletakkan perangkap kamera. Hal ini menjadikan pemerhatian ke atas haiwan diurnal dan nokturnal menjadi lebih mudah dan menarik dengan penggunaan teknologi perangkap kamera di lapangan.\nSejak diperkenalkan sekitar tahun 1990, penggunaan perangkap kamera telah meningkat dalam pemerhatian hidupan liar. Dengan kemajuan teknologi peralatan perangkap kamera, kaedah pemerhatian di lapangan ini menjadi lebih popular dalam kalangan penyelidik moden. Penyelidik biasanya akan mengutip data daripada perangkap kamera sekitar tiga bulan hingga enam bulan sebelum membuat analisis dapatan data daripada perangkap kamera." "50 Tahun Penubuhan Agensi Nuklear Malaysia Diraikan Hari Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 \u201cSebagai kementerian yang menerajui sains, teknologi dan inovasi negara, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkasa penyelidikan dan pembangunan. Sejak tahun lalu, MOSTI telah memperuntukkan sebanyak RM17.16 juta untuk pembiayaan program penyelidikan strategik.\u201d\nDemikian ucapan perasmian Sambutan Jubli Emas Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) yang disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba, hari ini.\nMenurut beliau, penggubalan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) kini berada dalam fasa terakhir untuk mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri. Penggubalan dasar ini bertujuan untuk memperkasa ekosistem teknologi nuklear negara dan menunjukkan komitmen berterusan antara MOSTI dengan Nuklear Malaysia dalam usaha memacu negara menjadi sebuah negara yang berteknologi tinggi pada masa hadapan.\nTambah beliau lagi, DTNN akan menjadi pemangkin kepada perkembangan kemajuan dan pembangunan teknologi nuklear di Malaysia. Dengan adanya dasar ini, segala usaha yang dilaksanakan akan memberikan impak dan nilai yang berharga dalam pembangunan teknologi nuklear di negara ini.\nSepanjang 50 tahun penubuhan Nuklear Malaysia, pelbagai kejayaan telah dilakarkan bukan sahaja di dalam negara, malah pada peringkat antarabangsa.\nSaya yakin bahawa semua kejayaan yang dicapai ini merupakan cerminan bakat, kepakaran dan keupayaan Nuklear Malaysia dalam menterjemahkan operasi dan penyampaian perkhidmatan bukan sahaja untuk komuniti sains dan penyelidik, malah kepada kerajaan, industri dan masyarakat.\nTidak ketinggalan, dalam ucapan perasmiannya, beliau menyeru agar Nuklear Malaysia lebih proaktif mengadakan program kesedaran bagi menghakis persepsi bahawa teknologi nuklear adalah bahaya. Masyarakat perlu diberikan penjelasan tentang hal ini dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami. Masyarakat juga perlu mengetahui tentang kelebihan teknologi nuklear yang digunakan secara selamat serta memberikan manfaat kepada mereka.\nSementara itu, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Abdul Rahim Harun berkata, \u201cKita harus berbangga kerana telah berjaya membangunkan dan mengoperasikan kemudahan teknologi nuklear selama lebih 40 tahun tanpa menimbulkan sebarang kemudaratan sama ada kepada manusia atau alam sekitar di Malaysia. Di sinilah peranan penting semua pihak dalam memantapkan penyelidikan dan pembangunan teknologi nuklear yang bergerak seiring dengan keperluan ekonomi serta mentransformasikan negara daripada status pengguna teknologi kepada pembangunan teknologi.\u201d\nDalam menyokong aspirasi Keluarga Malaysia, beliau menyatakan bahawa Sambutan Jubli Emas Nuklear Malaysia ini adalah selaras dengan agenda MOSTI, iaitu \u201cMerakyatkan Sains dan Menginsankan Teknologi\u201d. Sambutan 50 tahun ini akan berlangsung hingga Disember 2022 yang membolehkan pengunjung melawat dan melihat teknologi yang telah dan sedang dibangunkan sejak 40 tahun lalu seperti penggunaan teknologi nuklear dalam bidang perubatan, bioteknologi, alam sekitar, industri dan pembuatan.\nBeliau merakamkan ucapan terima kasih kepada MOSTI kerana menyokong aktiviti yang dijalankan oleh Nuklear Malaysia dari dahulu hingga sekarang. Beliau mengharapkan lebih banyak penyelidikan dan pembangunan yang akan dijalankan dan dapat dipasarkan sehingga dapat dirasai oleh masyarakat akan kesan dan manfaat teknologi nuklear tersebut dalam memakmurkan rakyat di negara ini.\nMengulas lebih lanjut tentang hal ini, perancangan rapi yang diterjemahkan dalam Wawasan Nuklear Malaysia 2020-2030 sedang giat dilaksanakan. Pelan pelaksanaan Wawasan Nuklear Malaysia 2020-2030 yang sistematik ini akan menjadi asas kepada Nuklear Malaysia untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara melalui teknologi nuklear demi keamanan sejagat.\nSokongan daripada semua pihak adalah diperlukan untuk terus memainkan peranan dalam menjalankan penyelidikan dan pembangunan teknologi nuklear untuk kepentingan keamanan negara dan kestabilan ekonomi dalam mendepani teknologi baharu yang sedang giat dijalankan kini.\nDalam majlis yang sama, turut berlangsung penyerahan bingkai gambar istimewa Dewan Kosmik Edisi Khas terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md. Johari Hasan kepada YB Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba.\nPenyerahan bingkai gambar istimewa ini adalah sebagai tanda penghargaan DBP kepada Nuklear Malaysia atas kerjasama yang diberikan dalam penerbitan penulisan berimpak tinggi yang ditulis oleh para pegawai penyelidik Nuklear Malaysia.\nTurut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, YBrs. Dr. Nagulendran A/L Kangayatkarasu, Pengarah Penerbitan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat dan Ketua Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar." "i-Rakan Sebaya: Penerapan Elemen Interaktif dalam Pembelajaran\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPembelajaran i\u2013rakan sebaya merupakan kaedah pembelajaran secara interaktif dalam kalangan rakan sebaya. Huruf \u201ci\u201d dalam istilah ini merujuk interaktif yang didefinisikan sebagai suatu tindakan atau hubungan erat antara satu sama lain. Interaktif melibatkan peserta memberikan dan menerima sesuatu secara aktif. Aktiviti interaktif dalam pembelajaran juga dapat dijelaskan menerusi kemampuan seseorang itu untuk berinteraksi dan mempelajari sesuatu menerusi pertuturan, dialog atau tindakan.\nInteraktif juga melibatkan penggunaan alat teknologi yang mendorong pelajar untuk berinteraksi sesama rakan di dalam kelas. Selain itu, interaktif juga melibatkan tindakan atau tingkah laku pelajar memberikan sumbangan atau sokongan secara peribadi untuk bersama-sama pelajar lain di dalam kelas.\nPenggunaan bimbingan rakan sebaya dalam konteks pendidikan merupakan bukan perkara baharu, malah pendekatan tersebut telah lama wujud dan sentiasa digunakan dengan pendekatan lain seperti pembelajaran secara kolaboratif. Menurut kajian oleh Colvin (2007), bimbingan rakan sebaya merupakan kaedah pembelajaran yang melibatkan seseorang individu daripada kumpulan yang mempunyai tahap sosial yang hampir sama, yakni individu yang lebih mahir dan pintar akan membimbing individu yang lemah.\nIndividu yang lebih pintar dan mahir dikenali sebagai tutor. Pada kebiasaannya, tutor akan membimbing individu yang kurang pintar dan mahir yang dikenali sebagai tutee, sama ada dalam kumpulan kecil atau secara individu dalam menyelesaikan masalah berkaitan pembelajaran. Langkah Pelaksanaan Kaedah I\u2013Rakan Sebaya dalam Pengajaran dan Pembelajaran\n\u00a0\n\u00a0\nPenerapan Elemen Teknologi dalam Pendidikan\nAplikasi teknologi menjadikan kemajuan kehidupan sosial dan gaya hidup seharian lebih mudah. Penggunaan teknologi turut membuktikan kesan yang positif terhadap gaya hidup dan memberikan impak yang positif dalam bidang pendidikan.\nKajian menunjukkan bahawa sektor pendidikan juga dipengaruhi oleh proses pengajaran dan pembelajaran yang disokong oleh aplikasi teknologi. Walaupun pendidik di seluruh dunia masih lagi menggunakan kaedah konvensional dalam pengajaran, namun bahan bantu mengajar seperti aplikasi teknologi sering digunakan secara efektif di dalam kelas.\nPenerapan elemen interaktif multimedia dalam pengajaran dan pembelajaran telah mewujudkan persekitaran pembelajaran secara kendiri. Elemen seperti video, audio, grafik dan teks mendedahkan pelajar kepada persekitaran pembelajaran yang menarik. Di samping itu, aplikasi laman web pembelajaran sebagai platform pembelajaran juga menggalakkan pembelajaran secara kendiri dalam kalangan pelajar.\nPerkara ini menunjukkan bahawa para pendidik perlu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan berinovasi mengikut keperluan pelajar.\u00a0 Persekitaran pembelajaran yang kondusif dan menarik akan menggalakkan interaksi dan kerjasama dalam kalangan pelajar di dalam kelas.\nAplikasi teknologi termasuklah multimedia interaktif juga menggalakkan pelajar untuk lebih aktif dan seronok sepanjang pembelajaran berlangsung. Pelibatan pelajar secara aktif dalam pembelajaran berbantukan teknologi dapat menarik minat pelajar. Penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja memudahkan tugasan guru, malah pelajar juga dapat berinteraksi dan berkomunikasi melalui pembelajaran yang dibantu oleh multimedia interaktif.\nOleh itu, para pendidik perlu mengoptimumkan aplikasi teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran agar seiring dengan keperluan semasa. Hal ini juga adalah penting untuk mendidik pelajar supaya tidak mudah merasa jemu dan bosan dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara konvensional. Di samping itu, para pendidik juga perlu memiliki kemahiran teknologi dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran yang berkesan mengikut keperluan pelajar pada masa ini." "Pusat Bateri Kenderaan Elektrik Hidrogen Dilancarkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pusat Bateri Kenderaan Elektrik Hidrogen (HEBATT), iaitu sebuah pusat inovasi bateri tempatan yang menghasilkan sel kantung nanoteknologi untuk aplikasi kenderaan elektrik (EV), telah dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba di MRANTI Park, semalam.\u00a0\nYB Dato\u2019 Sri Dr Adham Baba berkata, \u201cPembangunan HEBATT secara tidak langsung akan mengekalkan negara pada trajektori ekonomi rendah karbon dan kecekapan sumber sambil mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain global dalam pasaran bateri yang bernilai berbilion dolar.\u201c\nBeliau yakin bahawa HEBATT akan menerajui pembangunan bateri yang dipertingkatkan dengan teknologi nano Malaysia dan seterusnya menuju pencapaian baharu dengan impak sosioekonomi yang ketara, terutamanya untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berteknologi tinggi menjelang tahun 2030. Pada masa yang sama, matlamat untuk meletakkan Malaysia sebagai antara negara teratas di dunia bagi pembangunan ekonomi yang dipacu oleh teknologi inovatif bagi kesejahteraan rakyat dapat dicapai.\nSementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia, YBrs. Dr. Rezal Khairi Ahmad pula menyatakan bahawa pembangunan HEBATT adalah penting kepada agenda ekonomi hijau negara kerana akan menjadi pusat ekosistem tempatan bagi pengeluaran penyimpanan bateri dan hidrogen.\nApabila ekosistem ini berkembang sekali gus dapat memacu negara ke arah kedaulatan teknologi dalam sistem penyimpanan tenaga, terutamanya bagi sektor tenaga bersih, dengan nilai baharu dan rantaian bekalan diwujudkan untuk pekerjaan bernilai tinggi baharu dan peluang keusahawanan yang merangkumi bahan mentah, bahan perantara dan produk pengguna akhir.\nHEBATT merupakan pencapaian penting bagi Program Inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga NanoMalaysia yang diterajui oleh agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, iaitu NanoMalaysia Berhad. HEBATT akan mengeluarkan bateri yang dipertingkatkan dengan teknologi nano, mempunyai ketumpatan tenaga yang tinggi dan prestasi pengecasan pantas sambil mengurangkan risiko bahaya kepada alam sekitar.\nSelain itu, pembangunan HEBATT adalah kerjasama antara penerima pelaburan Kumpulan NanoMalaysia, Hypertech Industries Sdn. Bhd. dan International Battery Center Sdn. Bhd., iaitu pusat perundingan sehenti bagi kerjasama inovatif tempatan dan antarabangsa antara industri, universiti dan agensi kerajaan.\nPusat ini menjadi tumpuan dalam pembinaan dan perkembangan kepakaran tempatan dalam pembikinan bateri dan aplikasinya untuk sektor perindustrian yang berkaitan selain menumpukan pada pembangunan bateri kimia baharu dan penghasilan bateri canggih dalam pelbagai faktor, bentuk dan penyimpanan berasaskan hidrogen.\nPenyimpanan berasaskan hidrogen dipilih berbanding dengan silinder biasa kerana bersifat lebih ringan dan mampu menyimpan kuasa yang lebih tinggi serta tenaga yang lebih tumpat. Teknologi sel kantung juga tahan getaran dan boleh diubah suai dari segi saiz kantung dan elektrod." "Berbahasa dan Bersusila Budaya Kita\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNegara Malaysia terbina dengan Rukun Negara, yang terkandung di dalamnya lima perkara. Satu daripadanya ialah mewajibkan rakyat di negara ini melaksanakan dan menjulang tinggi segala perihal yang berkaitan dengan kesopanan dan kesusilaan. Hal ini membawa maksud, seluruh rakyat di Malaysia bersetuju dengan ikrar untuk memperakui iltizam sekali gus menjunjung kesopanan dan kesusilaan.\nOleh yang demikian, secara tidak langsung perkara ini membuktikan bahawa budaya negara ini tidak menyediakan ruang dan menentang segala perkara yang berkaitan dengan kebiadaban. Baik dalam bentuk perbuatan (tindakan atau tingkah laku) mahupun pertuturan (percakapan atau penulisan).\nRakyat Malaysia juga terkenal dengan budi bahasanya seantero dunia. Hal ini demikian sehingga lahirnya satu cogan kata yang mendorong sikap saling hormat-menghormati di bawah untaian kata yang berbunyi \u201cBudi bahasa budaya kita dan Yang tua kita hormati dan yang muda kita sayangi\u201d.\nYang lebih menarik lagi, hasil karya prosa dan puisi tradisional kesusasteraan Melayu, telah menjadi cerminan pengamalan budaya kita bahawa sesungguhnya sejak berkurun lama dahulu bangsa kita begitu menekuni perihal berbahasa dan bersusila, yang terlihat jelas, bagai hidup dikandung adat, mati dikandung tanah.\nNamun begitu, sejak beberapa tahun belakangan ini, wujud pelbagai isu yang melibatkan pelanggaran adab dalam berbahasa sehingga mencemarkan kewibawaan bersusila yang diperakui bersama dalam Rukun Negara. Penulisan ini mengupas perihal adab berbahasa ketika menegur yang selari dengan prinsip kesopanan dan kesusilaan yang telah diikrarkan bersama dalam perkara kelima dalam Rukun Negara.\nPertama, apakah tujuan teguran ini dilakukan? Umum mengetahui bahawa tindakan memberikan teguran ini ialah satu tindakan murni untuk membentuk kesedaran dan merangsang akal fikiran seseorang ataupun sekumpulan manusia bagi melakukan sesuatu perkara dengan lebih baik daripada sebelumnya, atau perihal yang mendorong sesuatu kebaikan.\nNamun begitu, ketika bentuk teguran ini sudah hilang kewarasan berbahasanya, secara tidak langsung telah mendorong pencemaran kesopanan dan kesusilaan. Hatta membawa kepada sesuatu hasil yang negatif sehingga tidak ada satu pun daripada teguran itu yang boleh diterima dan dicernakan secara positif oleh akal fikiran sekalian manusia. Oleh yang demikian, sebagai rakyat Malaysia yang memperakui kesopanan dan kesusilaan dalam setiap aspek termasuklah berbahasa perlulah memahami garis pemisah di antara menegur dengan mencela.\nJika dilihat dari konteks agama Islam misalnya, Allah SWT jelas memberikan peringatan kepada sekalian manusia di dunia ini, yakni ketika proses mengajak manusia berbuat kebaikan perlulah disampaikan secara berhikmah dan bijaksana dan bukan sesuatu teguran dengan kekerasan yang bersaluti penghinaan.\nSeperti yang tercatat dalam firman Allah SWT, dalam surah al-Nahl, ayat 125, \u201cSerulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahasalah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu, Dialah jua lebih mengetahui akan orang sesat daripada jalan-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang mendapat hidayah petunjuk\u201d.\nJelaslah bahawa ada batas-batas yang perlu dipatuhi sehingga tidak membawa tanggapan atau seruan yang berbentuk tidak bermoral. Kepatuhan ini secara tidak langsung membentuk jaminan kemaslahatan semua pihak dalam setiap bentuk teguran yang dilontarkan.\nSebagai contoh, kebebasan bersuara (teguran atau kritikan) yang diberikan kepada rakyat yang bernaung dalam sistem demokrasi di negara ini. Bukanlah satu kebebasan untuk memilih menjadi seorang atau sekumpulan manusia yang biadab. Hal ini dapat dilihat menerusi beberapa isu yang tercetus akibat memperkotak-katikkan kewibawaan barisan kepimpinan kerajaan atas dasar kebebasan berbahasa yang diberikan yang akhirnya terbit teguran yang tidak beretika dan melangkaui batas berbahasa dan bersusila.\nRentetan daripada perkara tersebut akhirnya disebabkan oleh keinginan bersuara yang tidak terpandu oleh adab berbahasa yang menyebabkan hak bersuara telah disalahertikan dan disalahgunakan oleh sesetengah pihak di negara ini. Hal itu sehingga membawa kepada satu bentuk teguran atau kritikan yang menghina dan menjatuhkan air muka seseorang pemimpin. Perkara ini secara tidak langsung, memberikan gambaran bahawa tahap berbahasa dan bersusila sesetengah pihak di negara ini berada dalam keadaan yang kritikal. Inilah satu daripada permasalahan yang cukup menggusarkan dekad ini.\nKegawatan berbahasa dan bersusila ini perlu diberikan perhatian dan sebaik-baiknya dapat dinoktahkan agar tidak melarat hingga kepada generasi yang akan datang. Hal ini demikian kerana ketika adab berbahasa kepada pemimpin sudah tidak dipraktikkan lagi, secara tidak langsung sudah mengingkari prinsip kelima dalam Rukun Negara.\nBegitu juga dengan isu yang tular sebelum ini sehingga menjadi perbualan hangat di setiap lorong media sosial yang berkaitan dengan perihal teguran manusia sesama manusia. Ketika sesuatu teguran yang pada awalnya mempunyai nilai kebaikan tetapi tidak dipandu dengan adab berbahasa, akhirnya membentuk satu tanggapan yang negatif. Oleh itu, di manakah perginya budaya kita yang selama ini menekankan adab berbahasa dan bersusila? \u00a0Di manakah hilangnya pengamalan slogan \u201cBudi bahasa budaya kita\u201d? Tepuk dada, tanya selera.\nKeinginan untuk melontarkan teguran tidak pernah menghalalkan matlamat untuk menggunakan kekerasan apatah lagi melanggar adab dalam berbahasa. Kesopanan dan kesusilaan ini ialah janji rakyat kepada negara dan telah menjadi cerminan pengamalan budaya kita sejak zaman-berzaman. Janganlah nanti hanya disebabkan setitik nila, rosak susu sebelanga.\nYang kedua, kenapakah adab begitu penting dalam setiap perbuatan terutamanya ketika proses memberikan teguran? Jawapannya mudah. Hal ini demikian kerana adab yang dipraktikkan dalam berbahasa secara bersusila (berhikmah dan bijaksana) akan memberikan mesej yang lebih berkesan kepada seseorang ataupun sekumpulan manusia yang ditegur.\nOleh sebab itu, dalam konteks agama Islam terutamanya, umatnya dituntut untuk menjunjung segala bentuk teguran yang hendak disampaikan dan pada masa yang sama haruslah mementingkan kesopanan dan kesantunan. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra,\u2019 ayat 23, \u201cMaka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan \u201cah\u201d dan janganlah engkau menengking atau menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)\u201d.\nBahkan jika dilihat dari konteks psikologi, iaitu bagi seseorang yang lahir dan membesar dengan didikan kasih sayang yang secukupnya, sudah tentu corak pemikirannya membentuk tingkah lakunya berlandaskan didikan yang dipenuhi dengan kasih sayang. Hal ini membawa maksud, ketika manusia ditegur dengan teguran yang berbentuk kekerasan, pada akhirnya nilai dalam teguran tersebut sudah tidak dilihat sebagai sesuatu nasihat ataupun kebaikan melainkan sebagai satu bentuk kekerasan dan penghinaan.\nAsasnya cuma satu \u2212 terjadi akibat kurangnya penekanan dalam etika berbahasa dan bersusila ketika melontarkan teguran. Oleh sebab itu, banyak orang tahu memberikan teguran tetapi tidak semua tahu cara untuk memberikan teguran secara berhikmah dan bijaksana. Kesannya, wujud pelbagai salah faham dan juga perselisihan antara pihak yang menegur dengan pihak yang ditegur.\nAdab ini terletak pada hierarki yang paling tinggi selepas ilmu dalam panduan hidup manusia bermoral. Seperti yang pernah disebut oleh Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani, \u201cAku lebih menghargai orang beradab daripada berilmu. Kalau hanya berilmu, iblis pun lebih tinggi ilmunya daripada manusia\u201d.\nBegitu juga dengan untaian kata yang dibentuk dalam Gurindam Dua Belas (fasal 3), karya Raja Ali Haji, iaitu \u201cApabila terpelihara lidah, nescaya dapat daripadanya faedah\u201d. Kedua-dua kenyataan yang dilampirkan ini sudah cukup memberikan satu pembuktian bahawa adab melangkaui segala-galanya. Oleh sebab itu, hanya dengan mempraktikkan adab dalam setiap perbuatan ataupun pertuturan, barulah setiap tindakan itu terjunjung dengan hikmah dan kebijaksanaan dalam menyampaikan teguran. Hal ini selari dengan budaya yang sudah lama menjadi pengamalan bangsa kita dan ikrar yang dipatuhi dalam perkara kelima Rukun Negara.\nKesimpulannya, setiap rakyat di negara ini perlu menekankan adab berbahasa dalam setiap tindakan terutamanya ketika proses melontarkan teguran. Hal ini demikian agar setiap lontaran teguran itu terpandu dan dapat disampaikan secara berkesan kepada golongan sasaran. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.\nTeguran dan kritikan bukanlah sesuatu bentuk kesalahan jika masih berkiblatkan kesopanan dan kesusilaan. Bahkan, teguran yang lebih baik ialah teguran yang disampaikan secara bersembunyi antara pihak yang menegur dengan pihak yang ditegur.\nJanganlah hanya disebabkan mengejar populariti dan status sosial dalam kehidupan di media sosial, seseorang itu mengambil jalan singkat dan secara tidak langsung meruntuhkan imej masyarakat dan budaya di negara ini yang begitu menekuni adab berbahasa dan bersusila.\nOleh itu, sebagai rakyat Malaysia yang memperakui ikrar Rukun Negara haruslah berfikir dengan bijak terlebih dahulu sebelum mengemukakan sebarang bentuk teguran. Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar." "UTHM dan DBP Meneroka Usaha Pendigitalan Bahan Terbitan DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerima kunjungan hormat daripada Jabatan Multimedia, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diwakili oleh Timbalan Dekan Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan FSKTM, Profesor Madya Ts. Dr. Hairulnizam Mahdin, semalam.\nPertemuan ini disambut baik oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi bersama-sama Pengarah Jabatan Penerbitan, Tuan Haji Razali Che Mat ini bertujuan membincangkan program kerjasama pendigitalan bahan terbitan DBP yang akan diadakan dalam bentuk \u00a0peraduan dalam kalangan pelajar tahun dua program Sarjana Muda Sains Komputer (Pengkomputeran Multimedia), UTHM.\nMenurut Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi, beliau tertarik dengan kerjasama pendigitalan hasrat yang dikemukakan oleh UTHM ini yang melibatkan pelbagai penerbitan derivatif digital daripada bahan terbitan DBP dalam bentuk aplikasi mudah alih, permainan video dan realiti terimbuh.\nDalam pertemuan ini, pihak UTHM telah mengadakan pembentangan fungsi dan projek yang telah diusahakan oleh FSKTM. Program yang dirintis oleh Bahagian Promosi dan Pengiktirafan ini dijadualkan bermula pada 16 Oktober 2022 sehingga 25 Februari 2023, iaitu selama 14 minggu sesi pembelajaran.\nMenurut Tuan Haji Razali Che Mat, DBP mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi menghasilkan bahan penerbitan digital\u00a0 atau produk penerbitan bersumberkan bahan terbitan DBP. Selain itu, DBP melalui Bahagian Multimedia turut menghasilkan penerbitan digital seperti e-buku dalam format PDF atau E-PUB dan buku audio.\nMenerusi perbincangan ini juga, kedua-dua pihak bersetuju untuk memeterai memorandum persefahaman bagi menjalinkan kerjasama yang lebih menyeluruh pada masa akan datang yang membabitkan pelbagai penghasilan bahan digital yang berunsurkan bahasa dan sastera melalui penggunaan teknologi semasa.\nTurut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Ketua Editor Buku Kanak-Kanak dan Remaja DBP, Puan Mariati Josepha Mustafa dan Ketua Editor Bahagian Multimedia DBP, Puan Naimah Yusof serta beberapa pegawai kanan DBP. Turut hadir mewakili UTHM ialah Dr. Noorhaniza Wahid, Dr. Rahayu A Hamid, Dr. Che Samihah Che Dalim dan Puan Suriawati Suparjoh." "KASA Komited Meneruskan Usaha Melindungi Lapisan Ozon\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSepang \u2013 Kerajaan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta agensi\u00a0 Jabatan Alam Sekitar dan Air (JAS) terus komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bagi melindungi lapisan ozon di Malaysia.\nMenurut Menteri Alam Sekitar dan Air, YB Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Malaysia telah meratifikasikan Konvensyen Vienna bagi Perlindungan Lapisan Ozon dan Protokol Montreal mengenai Bahan Pemusnah Lapisan Ozon pada 29 Ogos 1989. Lapisan ozon dijangkakan pulih sepenuhnya pada tahun 2060 selaras dengan pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh negara ini bersama-sama semua negara parti dalam mengurangkan penggunaan bahan pemusnah ozon.\nMalaysia juga telah meratifikasi Pindaan Kigali kepada Protokol Montreal pada 21 Oktober 2020 yang bertujuan untuk mengurangkan penggunaan hidrofluorokarbon (HFC), iaitu gas rumah kaca yang mempunyai potensi pemanasan global yang tinggi.\nTambah beliau, Pindaan Kigali ini dijangkakan dapat mengurangkan pelepasan 105 juta tan karbon dioksida setara, manakala suhu global pula dapat dikurangkan pada tahun 2100.\nJAS dengan kerjasama strategik Kementerian Pendidikan Malaysia telah berjaya mentauliah 11 Kolej Vokasional sebagai Pusat Latihan Bertauliah bagi melaksanakan Program Pensijilan Juruteknik Servis penyaman udara yang seterusnya akan melahirkan juruteknik yang mempunyai kemahiran serta pengetahuan dalaman pengurusan refrigeran yang menyumbang kepada perlindungan lapisan ozon.\nYB Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi dan pihak berkepentingan yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan Protokol Montreal di Malaysia dan menghargai kerjasama erat daripada rakan strategik Sambutan Hari Ozon Sedunia 2022 yang terdiri daripada Daikin Malaysia, Panasonic Air Conditioning Malaysia, Proton, Dagang Net Technologies Sdn. Bhd., Hyundai-Sime Darby Motors Sdn. Bhd., Tri EcoEdge Sdn. Bhd., dan Gamuda Land.\nSambutan Hari Ozon Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan bertemakan Protokol [email\u00a0protected] \u2013 Kerjasama Global Melindungi Kehidupan di Bumi\u201d telah diadakan di Gamuda Cove, Dengkil, Selangor pada 24 September lalu yang boleh ditonton secara dalam talian melalui laman Facebook rasmi JAS. Tema sambutan pada tahun ini adalah\u00a0sebagai isyarat bahawa Protokol Montreal telah memberikan sumbangan penting dalam melindungi lapisan ozon dan menangani perubahan iklim dunia.\nPelbagai aktiviti menarik telah diadakan bersempena dengan sambutan tersebut. Antaranya ialah Walk for Ozone, pertandingan mewarna dan permainan Snakes and Ladder untuk kanak-kanan serta treasure hunt. Di samping itu, pelbagai program promosi dan kesedaran yang turut melibatkan JAS negeri akan berlangsung sepanjang September dan Oktober ini sebagai persediaan sambutan Hari Alam Sekitar Negara yang akan diadakan pada 22 Oktober 2022 nanti." "Mengapakah Mod Pesawat Perlu Diaktifkan Semasa Penerbangan?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSetiap kali menaiki kapal terbang, kita semua akan mendengar pengumuman rutin oleh juruterbang yang menasihatkan penumpang kapal terbang untuk menetapkan peranti elektronik kepada mod pesawat. Kita juga sering dimomokkan dengan kenyataan bahawa tindakan tersebut adalah penting supaya tidak menyebabkan kecemasan kepada kapal terbang. Namun begitu, pernahkah kita terfikir mengapakah peranti elektronik seperti telefon pintar perlu ditetapkan kepada mod pesawat ketika dalam tempoh penerbangan?\nNavigasi dan komunikasi penerbangan bergantung pada perkhidmatan radio yang telah diselaraskan untuk meminimumkan gangguan sejak tahun 1920-an. Namun begitu, teknologi digital yang digunakan pada masa ini adalah jauh lebih maju daripada teknologi analog yang wujud sejak 60 tahun yang lalu. Kajian menunjukkan bahawa peranti elektronik peribadi mengeluarkan isyarat dalam jalur frekuensi yang sama seperti sistem komunikasi dan navigasi pesawat lalu mewujudkan gangguan yang dikenali sebagai gangguan elektromagnet.\nPada tahun 1992, dalam kajian bebas yang dijalankan oleh Federal Aviation Administration dan Boeing berkaitan dengan penggunaan peranti elektronik dan gangguan pesawat tidak menemukan sebarang masalah dengan komputer atau peranti elektronik peribadi lain semasa fasa penerbangan yang tidak kritikal, yakni semasa kapal terbang berlepas dan mendarat.\nThe Federal Communications Commission juga telah mencipta jalur lebar frekuensi terpelihara yang berbeza untuk kegunaan telefon mudah alih, navigasi dan komunikasi pesawat supaya tidak mengganggu antara satu sama lain. Kebanyakan kerajaan di seluruh dunia juga telah membangunkan strategi dan dasar yang sama untuk mencegah masalah gangguan dengan penerbangan. Sejak tahun 2014, Kesatuan Eropah telah membenarkan penggunaan peranti elektronik telah dibenarkan untuk terus hidup di dalam pesawat.\nNamun begitu, mengapakah industri penerbangan terus mengharamkan penggunaan telefon bimbit di dalam kapal terbang? Sebenarnya, satu daripada masalah tersebut ialah gangguan rangkaian di atas tanah bumi. Rangkaian wayarles disambungkan oleh satu siri menara di atas tanah. Pada tahun 2021, lebih daripada 2.2 bilion individu telah direkodkan menggunakan kapal terbang. Jumlah yang besar ini adalah berpotensi untuk menyebabkan rangkaian wayarles sedia ada menjadi sarat atau terlebih muatan sekiranya semua penumpang di dalam kapal terbang menggunakan telefon pada waktu yang sama.\nTidak dinafikan bahawa apabila membincangkan hal berkaitan dengan teknologi dan rangkaian mudah alih, perubahan terbesar yang berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini ialah peralihan rangakaian kepada standard yang baharu, iaitu rangkaian wayarles 5G. Walaupun kemudahan ini diinginkan oleh masyarakat dunia untuk data berkelajuan tinggi, keadaan tersebut telah menimbulkan kebimbangan bagi kebanyakan pihak dalam industri penerbangan.\nIndustri penerbangan melaporkan bahawa spektrum lebar jalur rangkaian wayarles 5G adalah sangat hampir dengan spektrum jalur lebar penerbangan yang menyebabkan potensi gangguan pada sistem navigasi dan keselamatan kapal terbang. Pengendali lapangan terbang di Australia dan Amerika Syarikat juga telah menyuarakan kebimbangan keselamatan penerbangan yang dikaitkan dengan menara pencawang 5G. Walau bagaimana, kebanyakan negara dikatakan sedang menjalankan kajian lanjut tentang isu ini.\nNamun begitu, kebanyakan syarikat penerbangan kini menyediakan perkhidmatan Wi-Fi dalam penerbangan, sama ada dengan bayaran tertentu ataupun secara percuma. Sistem Wi-Fi dalam kapal terbang yang telah dibangunkan dilaporkan telah diuji dan disahkan mengikut model dan sistem pesawat secara keseluruhan. Dengan kemudahan \u00a0Wi-Fi ini, secara teorinya penumpang boleh menggunakan telefon bimbit di dalam kapal terbang pada bila-bila masa.\nSebagai kesimpulannya, penggunaan telefon semasa dalam tempoh penerbangan pada masa ini tidak menjejaskan keupayaan pesawat untuk beroperasi sepenuhnya. Walau bagaimanapun, kemajuan teknologi 5G dijangka mampu \u201cmenceroboh\u201d jalur lebar radio sistem navigasi pesawat. Perlu diingatkan bahawa fasa penerbangan yang paling kritikal ialah berlepas dan mendarat. Berlepas adalah pilihan, namun mendarat adalah wajib." "MOSTI Mempelawa IIASA Menjayakan Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nVienna \u2013\u00a0 \u201cInstitut Antarabangsa untuk Sistem Analisis Gunaan (IIASA) mempunyai kepakaran dalam analisis sistem bagi pelbagai bidang disiplin, terutamanya yang berkaitan dengan sains alam sekitar. Oleh itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mempelawa IIASA untuk menjalinkan kerjasama dengan Akademi Sains Malaysia (ASM) dengan menyumbangkan pengetahuan dalam bantuan teknikal untuk memperkukuh Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara (PTKPN) yang lebih bersepadu menjelang akhir tahun 2023.\u201d\nDalam kenyataan media yang dikongsikan oleh MOSTI, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba membuat pelawaan tersebut ketika sesi lawatan di IIASA, Laxenburg, Austria semalam.\nDalam Mesyuarat Sains Negara pada 8 April 2022, YAB Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan agar MOSTI melalui ASM untuk menggubal PTKPN. Beberapa pertemuan dengan pemegang taruh berkaitan dalam membincangkan isu berkenaan secara holistik yang dipacu sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) telah dilaksanakan oleh ASM.\nMenurut YB Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba, PTKPN akan memfokuskan dua perkara, iaitu\u00a0 pembangunan sistem pengawasan, pemantauan dan penjejakan impak (STIE Trend Watch) untuk kesihatan planet sebagai pemboleh ubah bagi pelaksanaan PTKPN serta meningkatkan penyelidikan dan pembangunan dalam kawasan zoonosis ke arah pembangunan pangkalan data nasional untuk genomik alam sekitar melalui Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI), ASM dan agensi yang berkaitan.\nSejak tahun 2013 hingga kini, sebanyak 26 lawatan penyelidik IIASA ke Malaysia, manakala sebanyak 47 orang individu yang terdiri daripada penyelidik, penasihat dan diplomat Malaysia telah menghadiri sekurang-kurangnya satu acara di IIASA. Bukan itu sahaja, sebanyak enam orang peserta dari Malaysia juga telah dihantar untuk menyertai Program Musim Panas Saintis Muda IIASA.\nIIASA merupakan sebuah institut penyelidikan antarabangsa yang menjalankan penyelidikan pelbagai disiplin untuk membantu penggubal dasar mencari penyelesaian jangka masa panjang terhadap cabaran global dan universal yang dihadapi oleh negara.\nTurut hadir dalam sesi lawatan ini ialah Ketua Pengarah IIASA, YBrs. Dr. Albert van Jaarsveld, Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hashim dan duta Malaysia ke Austria merangkap wakil tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Vienna, Tuan Yang Terutama Ikram Mohammad Ibrahim." "Ekspo Smart Nation 2022: Pameran Terbesar Teknologi Terkini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Penganjuran Ekspo Smart Nation 2022 yang berlangsung sejak semalam di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia merupakan suatu penganjuran pameran teknologi terkini yang melibatkan ratusan pempamer dari pelbagai syarikat sama ada di dalam negara atau di luar negara.\nEkspo yang berlangsung selama tiga hari ini memberikan peluang kepada para pengunjung untuk mengetahui pelbagai teknologi digital yang boleh memacu pertumbuhan ekonomi negara. Kemunculan teknologi digital, termasuklah kecerdasan buatan, robotik, Internet benda dan realiti terimbuh (AR) memberikan impak yang besar kepada hampir setiap sektor, misalnya pendidikan, pengangkutan, pertanian, penjagaan kesihatan, pembuatan, hiburan dan keselamatan awam.\nKini, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan revolusi digital ini dan berusaha membuat perubahan baharu dari segi pendigitalan ekonomi negara sekali gus dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat. Pada masa yang sama, kemajuan teknologi ini dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti tinggi dan menjadikan Malaysia lebih cekap, berdaya saing dan mampan.\nPelbagai pameran disediakan seperti pameran 5G, kecerdasan buatan, realiti maya, robotik, Internet benda serta penyelidikan dan teknologi. Para pengunjung berpeluang untuk bertemu dengan pakar teknologi maklumat dan komunikasi, pihak pembangun dan pembekal aplikasi, syarikat pembangunan infrastruktur dan pihak berkaitan yang lain semasa mengunjungi setiap reruai yang terdapat dalam ekspo ini. Peluang seperti ini memberikan manfaat kepada para pengunjung yang ingin menjalinkan kerjasama untuk kepentingan tertentu atau membolehkan pengunjung merasai sendiri pengalaman dalam menggunakan aplikasi yang terdapat dalam pameran teknologi tersebut.\nJika dilihat dari segi pandangan umum, ekspo ini memang sangat bagus dan perlu diadakan secara kerap. Penganjuran ekspo seperti ini akan membuka minda dan menambah pengetahuan masyarakat tentang teknologi yang sentiasa berkembang dengan sangat cepat. Negara luar telah banyak mencapai kejayaan dalam bidang ini berbanding dengan Malaysia. Oleh sebab itu, penganjuran ekspo yang mempamerkan banyak pameran berkenaan dengan teknologi perlu sering diadakan bagi membolehkan Malaysia setanding dengan negara luar.\nDemikian ulasan ringkas daripada Eksekutif Pensijilan, Bahagian Pensijilan dan Pemeriksaan Elektrik dan Elektronik, SIRIM International Sdn. Bhd., Encik Rezauddin Hafiz Zainal ketika diminta untuk mengulas sedikit tentang penganjuran ekspo ini.\nSelain itu, para pengunjung juga berpeluang untuk mengenali teknologi robotik terkini yang berfungsi dalam membantu tugasan manusia. Antaranya ialah robot Delivery Bot yang berfungsi untuk menghantar makanan, ubat-ubatan atau barangan penting lain kepada pesakit di kawasan berisiko tinggi atau pusat kuarantin dengan selamat. Robot ini memiliki kamera dan sistem bunyi yang boleh didengar serta mudah dikawal. Robot Autonomus Floor Scrubber pula berfungsi untuk membersihkan dan membasmi kuman pelbagai jenis permukaan secara berkesan pada kawasan permukaan yang besar tanpa memerlukan bantuan daripada manusia.\n\u00a0\nSementara itu, Simposium Teknologi Smart Nation 2022 turut diadakan sepanjang ekspo ini berlangsung. Simposium ini menyediakan platform untuk pakar teknologi atau pihak yang berkaitan berkongsikan maklumat tentang teknologi yang menjadi trend pada masa ini, peraturan dan perkembangan yang akan memberikan kesan terhadap sektor ekonomi, mengenali dengan lebih mendalam tentang kecerdasan buatan, pendigitalan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan sebagainya.\nEkspo Smart Nation 2022 ini berlangsung dari 27 September 2022 hingga 29 September 2022. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman Facebook rasmi ekspo ini di sini." "I-CPROM Membentuk Kemahiran Multimedia dan Pengaturcaraan Hadapi Era Digitalisasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Era digital adalah satu daripada era kehidupan, yakni segala aktiviti yang menyokong kehidupan dapat dipermudah dengan kewujudan teknologi yang canggih.\nHal ini selaras dengan inisiatif Malaysia Digital yang berhasrat untuk melahirkan lebih banyak bakat dan tenaga kerja digital yang berdaya saing, infrastruktur yang serba lengkap dan terus memastikan keupayaan serta kapasiti negara ini kekal bertaraf dunia.\nUniversiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis tidak ketinggalan dalam menyahut seruan dan saranan daripada kerajaan dengan menganjurkan satu pertandingan, iaitu International Competitive Programming and Multimedia Competition (I-CPROM).\nI-CPROM yang dianjurkan pada setiap tahun oleh Jabatan Sains Komputer dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik, UiTM Cawangan Perlis ini telah menerima sebanyak 85 penyertaan bukan sahaja dari institusi pengajian tinggi di Malaysia, malah turut menerima penyertaan dari institusi pengajian tinggi di luar negara.\nPada tahun ini, I-CPROM telah mendapat kerjasama daripada pelbagai rakan strategik di dalam negara dan di luar negara. Antaranya ialah Asosiasi Perguruan Tinggi Informatika dan Ilmu Komputer (APTIKOM), Universitas Islam Negeri Sunan Ampel (UIN), Politeknik Caltex Riau, Prince of Songkla University (PSU), UTMSPACE, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Pusat Teknologi Pembelajaran dan Multimedia, Universiti Sains Malaysia dan International Advertising, Communication and Technology College (IACT College).\nSelain itu, I-CPROM juga bekerjasama dengan UiTM Cawangan Terengganu, UiTM Cawangan Perak, UiTM Cawangan Sarawak, UiTM Cawangan Merbok, Uniutama Sdn. Bhd. dan Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Negeri Perlis (SSTP Jabatan Pendidikan Negeri Perlis).\nPertandingan ini juga menerima penajaan daripada pelbagai pihak termasuklah MSB Security Sdn. Bhd,, Kawalan Keselamatan BG Sdn. Bhd., The Clove Mont Resort, AUGY Global Marketing Sdn. Bhd., SSTP, Dr. Kadir dari Gleneagles Hospital Medini Johor dan Dr. Moideen dari Poliklinik Puteri dan Surgeri, Skudai, Johor.\nSebanyak dua kategori telah dipertandingkan, iaitu pertandingan pengaturcaraan dan pertandingan multimedia. Kumpulan SeeSharp dari Politeknik Caltex Riau telah dinobatkan sebagai pemenang anugerah platinum bagi kategori pengaturcaraan. Kumpulan Thundercats dari Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur pula diumumkan sebagai pemenang anugerah emas, manakala kumpulan Vivid Spirit dari UiTM Terengganu merangkul anugerah perak dan kumpulan Olympus dari Politeknik Caltex Riau memenangi anugerah gangsa.\nSeterusnya, bagi kategori multimedia, kumpulan KOMPEN dari Politeknik Caltex Riau telah dinobatkan sebagai pemenang anugerah platinum. Pemenang pingat emas telah dianugerahkan kepada dua kumpulan dari UiTM Cawangan Perlis, iaitu kumpulan Blossoms dan Elite but Chaos, manakala kumpulan Serendipity yang juga daripada UiTM Cawangan Perlis menerima pingat perak. Kumpulan Tarc Multimedia Division (TMD) dari Universiti Tunku Abdul Rahman pula mendapat pingat gangsa.\nWalaupun sudah sedekad berlalu, objektif program I-CPROM ini masih sama, iaitu berfungsi sebagai platform untuk meningkatkan bakat, kreativiti dan pemikiran kritis pelajar dalam bidang pengaturcaraan dan multimedia. Program ini juga bertindak sebagai platform untuk menapis dan memilih pelajar yang berpotensi untuk mewakili universiti bagi pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.\nDemikian ucapan daripada Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBhg. Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi. Beliau turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua ahli jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus dalam memastikan pelaksanaan I-CPROM berjalan dengan lancar." "Dasar Generasi Penamat (GEG) Melahirkan Generasi Masa Hadapan yang Lebih Sihat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSejak bertahun-tahun lamanya, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan pelbagai kempen dan menguatkuasakan segala jenis peraturan bagi mengurangkan jumlah bilangan perokok di Malaysia. Namun begitu, usaha tersebut dilihat gagal mencapai sasarannya apabila Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 menunjukkan bahawa bilangan perokok di negara ini terus meningkat kepada 4.8 juta orang pada tahun 2021 berbanding dengan 4.7 juta orang pada tahun 2011.\nOleh itu, bagi menangani isu tersebut, KKM telah mengambil langkah untuk melaksanakan Dasar Generasi Penamat (Generation End Game (GEG)) menerusi penguatkuasaan Akta Produk Tembakau dan Merokok 2022. Rang undang-undang (RUU) ini telah dibentangkan pada 27 Julai 2022 yang lalu di parlimen dan dijangkakan mula berkuat kuasa pada tahun 2025 jika diluluskan. Setakat ini, Malaysia dan New Zealand merupakan dua negara pertama yang membawa RUU GEG ke parlimen masing-masing.\nCadangan pelaksanaan GEG ini walaupun sebenarnya dilihat antara penyelesaian yang baik dalam menyelesaikan masalah ketagihan merokok dan rokok elektronik tetapi masih banyak pihak menentangnya. Pihak yang menentang tersebut memilih konsep \u201cpengurangan kemudaratan\u201d. Bagi pejuang hak asasi pula menyatakan bahawa GEG ini menggugat hak asasi golongan yang terlibat sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Perlindungan Pengguna 1999. Pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan KKM tersebut berpendapat bahawa GEG ini lebih kepada undang-undang yang berbentuk hukuman. Namun begitu, sebenarnya kerajaan melalui KKM telah lama menjalankan pelbagai kempen bagi mendidik masyarakat tentang bahaya merokok terhadap kesihatan. KKM juga semakin lantang menyuarakan kebimbangan berkaitan dengan kemudaratan penggunaan rokok elektronik, iaitu vap kepada masyarakat, terutamanya generasi muda yang merupakan pengguna vap paling banyak di negara ini.\nPelaksanaan GEG di Malaysia akan melindungi individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya daripada bahaya semua produk merokok. Bagi individu yang lahir sebelum tarikh tersebut, mereka boleh terus merokok namun masih tertakluk kepada undang-undang sedia ada. KKM melihat pelaksanaan GEG adalah perlu kerana bilangan pengguna rokok elektrik yang berumur 15 tahun dan ke atas di Malaysia semakin meningkat.\nBerdasarkan Unit Kawalan Tembakau, KKM, kos rawatan akibat komplikasi penggunaan produk tembakau juga akan meningkat kepada RM8.8 bilion pada tahun 2030 berbanding dengan RM6.2 bilion pada tahun 2020. Sedangkan kutipan cukai produk tembakau negara pada tahun 2020 hanya sebanyak RM2.67 bilion. Oleh itu, dua objektif utama yang ingin dicapai melalui pelaksanaan GEG ialah peratusan perokok di Malaysia dapat dikurangkan kepada bawah lima peratus dan penurunan beban rawatan komplikasi merokok sama ada rokok konvensional ataupun rokok elektronik.\nMalaysia juga sedang berhadapan dengan masalah beban kesihatan berganda yang serius akibat penggunaan rokok konvensional dan rokok elektronik pada masa ini. Kajian yang dijalankan oleh pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan bahawa kawalan sedia ada yang dilaksanakan akan menunjukkan penurunan sangat sedikit dalam jangka masa panjang. GEG merupakan satu konsep yang telah diketengahkan oleh pakar pada peringkat antarabangsa dalam usaha memperkukuh kawalan tembakau yang sedia ada. Antara negara yang telah mempraktikkan dasar ini ialah New Zealand dan Denmark.\nSememangnya kerajaan telah menjalankan pelbagai langkah dalam usaha menangani masalah merokok di negara ini. Kempen \u201cTak Nak Merokok\u201d, perkhidmatan klinik berhenti merokok, kawasan bebas merokok, amaran bergambar di kotak rokok, kempen Speak Out dan polisi tertentu seperti Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 merupakan antara inisiatif tersebut tetapi segala usaha ini masih tidak cukup untuk menanganinya.\nTambahan pula, masyarakat Malaysia, terutamanya generasi muda kebanyakan beralih kepada vap. Yang lebih membimbangkan ialah kebanyakan pelajar sekolah juga mula berjinak-jinak dengan vap. Menurut Pegawai Pendidikan dan Aktivis Antimerokok Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N.V. Subbarow, ada antara kanak-kanak, terutamanya murid sekolah rendah di negeri ini dikatakan sanggup berkongsi wang dengan rakan semata-mata mahu melepaskan gian membeli hanya satu produk vap atau rokok elektronik.\nKini, lebih daripada 20 buah negara di dunia telah mengharamkan penjualan produk rokok elektronik di negara masing-masing. Terdapat juga negara yang mengetatkan undang-undang berkaitannya. Sebagai contohnya, Thailand merupakan negara yang menyita pemilik rokok elektronik dan pemiliknya boleh dikenakan denda atau penjara. Di Malaysia, vap atau rokok elektronik masih meluas pasarannya. Bukan itu sahaja, lambakan kedai vap juga boleh dilihat di mana-mana sahaja. Situasi inilah yang membimbangkan kerana akses untuk mendapatkan produk tersebut semakin meluas berbanding dengan zaman dahulu. Ditambah pula dengan sikap sesetengah ibu bapa yang bukan sahaja tidak mengambil tahu akan hal anak-anak, malah sengaja memberikan anak kecil mereka mencuba menghisap vap sebagaimana gambar yang telah tular di media sosial.\nPensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan, Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah menyatakan bahawa kerajaan sebenarnya berupaya menyelamatkan sebanyak 27 000 orang penduduk di negara ini yang meninggal dunia akibat kanser yang dikaitkan dengan merokok secara aktif sekiranya undang-undang ini diluluskan. Laporan RUU GEG juga mencadangkan sekurangnya-kurangnya 10 peratus daripada cukai yang dikutip dari industri vap perlu diperuntukkan kepada Program Berhenti Merokok, iaitu mQuit.\nCadangan ini dilihat sesuai berikutan vap dikatakan sebagai alat untuk membantu perokok bagi membuang tabiat merokok dalam kalangan perokok tegar. RUU GEG ini sebenarnya mendapat banyak bantahan sejak mula dicadangkan oleh KKM. Dalam petisyen secara dalam talian yang dilancarkan di platform Malaysia, Malaysia Bersuara menunjukkan lebih 600 000 rakyat Malaysia menandatangani petisyen membantah RUU GEG yang dijadualkan akan dibentangkan di parlimen pada Oktober nanti setelah melalui proses semakan.\nJika kita lihat situasi ini, banyak juga pihak yang menyokong RUU ini kerana jelas banyak manfaat dan kebaikan yang diperoleh jika pelaksanaannya berjaya sebagaimana yang dihasratkan. Walau bagaimanapun, pemain industri vap merupakan antara pihak yang terkehadapan menyuarakan pendapat bertentangan kerana mereka merupakan pihak yang bakal terjejas. Hal ini kerana pelaksanaan berperingkat GEG dijangkakan memberikan kesan kepada pemain industri vap di Malaysia yang mencecah 3000 usahawan dengan 15 000 orang pekerja serta melibatkan satu juta orang pengguna.\nPenggunaan vap yang semakin meluas di negara ini juga menyebabkan bertambahnya kes keracunan cecair vap, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Menurut Pegawai Farmasi, Pusat Racun Negara (PRN), Sulastri Samsudin, pihaknya menerima kes keracunan cecair vap dan kebanyakan kes keracunan ini melibatkan kanak-kanak berusia antara satu tahun hingga empat tahun, malah pesakit paling muda yang dilaporkan kepada PRN baru berusia tiga bulan yang terminum cecair vap. Bukan itu sahaja, PRN juga turut mengesan semakin banyak panggilan kes keracunan yang melibatkan kanak-kanak seawal usia satu tahun cuba menghisap vap yang mengandungi kepekatan nikotin yang tinggi.\nTuntasnya, pelaksanaan GEG sebenarnya sesuai dilaksanakan di Malaysia kerana sikap masyarakat yang hanya takut dan risau akan denda. Buktinya, walaupun adanya penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar di bawah Akta Pengangkutan Jalan, masih ramai yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan. Selagi tiada pelaksanaan undang-undang, masalah untuk mengatasi ketagihan rokok dan vap dalam kalangan masyarakat, terutamanya generasi muda tidak mampu diatasi kerana kesedaran berkaitan dengan kesihatan dan keselamatan dalam kalangan masyarakat di negara ini amat rendah.\nSekurang-kurangnya dengan adanya undang-undang, ibu bapa lebih prihatin dalam memantau kelakuan anak-anak. Golongan yang terlibat dengan pelaksanaan GEG pula boleh lebih berhati-hati. Walaupun GEG dikatakan tidak adil, sebenarnya tujuan pelaksanaannya adalah untuk melindungi dan memastikan generasi pada masa hadapan lebih sihat dan selamat. Namun begitu, pelaksanaannya perlu diperhalusi dengan lebih cermat dan penguatkuasaannya bukan secara membuta tuli." "Sebar Kesedaran Ancaman Rabies di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Berdasarkan laporan daripada laman sesawang Global Alliance for Rabies Control, Hari Rabies Sedunia atau Hari Penyakit Anjing Gila Sedunia merupakan kempen kesedaran yang bertujuan untuk melaksanakan kawalan penyakit anjing gila di Amerika Syarikat. Selain itu, Hari Kesedaran Rabies diletakkan di bawah pemerhatian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan telah disahkan oleh pertubuhan kesihatan manusia dan veterinar antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Pertubuhan Kesihatan Seluruh Amerika dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat.\nHari Rabies Sedunia disambut pada 28 September pada setiap tahun bagi memperingati ulang tahun kematian ahli kimia dan ahli mikrobiologi Perancis, Louis Pasteur dengan kerjasama rakan-rakannya yang memperkenalkan vaksin rabies pertama di dunia. Secara keseluruhannya, sambutan Hari Rabies Sedunia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kesan rabies terhadap manusia dan haiwan, memberikan maklumat dan langkah pencegahan penyakit rabies dalam kalangan masyarakat yang berisiko dijangkiti virus rabies.\nKesedaran terhadap langkah pencegahan penyakit rabies di Malaysia telah dibincangkan secara menyeluruh oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Vickneshwaran Muthu dalam Bual Bicara bertajuk Kesedaran terhadap Rabies dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di saluran TV1 baru-baru ini.\nMenurut beliau, antara langkah untuk mencegah penyakit rabies termasuklah individu yang memiliki haiwan peliharaan seperti anjing atau kucing perlu menjaga haiwan tersebut dengan baik dan tidak melepaskannya ke luar rumah. Jika haiwan peliharaan dilepaskan ke luar, hal ini akan menyebabkan anjing atau kucing peliharaan tersebut dijangkiti\u00a0virus penyebaran rabies yang dibawa oleh anjing liar dan haiwan pembawa lain. Virus penyebaran rabies akan mempengaruhi perubahan dan tingkah laku anjing atau kucing tersebut.\nVirus penyebaran rabies yang menjangkiti mamalia dan manusia bermula daripada gigitan dan cakaran anjing liar serta kucing liar. Selain itu, virus penyebaran rabies terdapat dalam luka yang terkena air liur haiwan liar. Lebih membahayakan apabila virus ini turut menjangkiti saraf manusia. Virus penyebaran rabies yang berada di dalam badan manusia akan bergerak ke otak manusia.\nTambah beliau, penyebaran virus rabies di Malaysia disebarkan melalui pertambahan populasi haiwan liar seperti anjing yang dibawa masuk menerusi sempadan Malaysia, Thailand dan Indonesia. Kemasukan anjing dari luar negara ini telah membawa virus rabies. Sebagai contohnya, perkembangan virus rabies di Sarawak terus berada pada fasa endemik setelah mencatatkan sebanyak 12 kes manusia yang meninggal dunia setelah dijangkiti rabies sejak tahun 2017. Oleh itu, langkah vaksinasi pencegahan rabies untuk haiwan dan manusia perlu terus dilaksanakan sebagai usaha mencegah penyakit rabies di Malaysia.\nDalam program tersebut, beliau juga menyatakan bahawa tindakan yang perlu dilakukan oleh manusia setelah diserang dan digigit anjing liar adalah dengan mencuci luka menggunakan air yang mengalir, selain menggunakan sabun dan iodin. Pengaliran air selama 15 minit ketika mencuci luka dapat mengurangkan jangkitan virus. Hal ini dikatakan demikian kerana virus tidak merebak ke dalam darah tetapi virus boleh merebak ke dalam saraf.\nMengulas dengan lebih lanjut tentang hal ini, beliau mengatakan bahawa terdapat pelbagai jenis vaksin pencegahan penyakit rabies berdasarkan peningkatan sebanyak 10 juta virus rabies di seluruh dunia. Jika anjing, kucing atau manusia yang dijangkiti rabies tidak mengambil vaksin, berkemungkinan virus rabies yang lebih berbahaya akan dijangkiti. Pengambilan vaksin pencegahan rabies menjadi lengkap setelah selesai mengambil vaksin sebanyak empat dos.\nSebagai kesimpulannya, masyarakat perlu memastikan kebersihan di tempat tinggal, tidak mencium haiwan liar seperti anjing atau kucing serta melaporkan kes diserang atau digigit haiwan liar kepada pihak yang berkaitan dengan segera. Tindakan ini membolehkan anjing liar tersebut ditangkap dan dibawa ke pusat kurungan haiwan yang terdekat. Kesedaran terhadap penyakit rabies bersempena dengan Hari Rabies Sedunia memberikan pengetahuan menyeluruh tentang langkah pencegahan virus rabies di Malaysia." "Malaysia Techlympics Memupuk Budaya Sains, Teknologi dan Inovasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Malaysia Techlympics 2022, sebuah inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah bermula sejak April lalu yang acara kemuncaknya bakal diadakan pada 12 November 2022 dan 13 November 2022 di Axiata Arena, Bukit Jalil. Bagi mengupas dengan lebih lanjut tentang Malaysia Techlympics 2022 dalam memupuk budaya sains, teknologi dan inovasi (STI), Bernama Radio telah mengundang Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), MOSTI, YBrs. Dr. Nagulendran Kangayatkarusu dalam slot \u201cDalam Radar\u201d kelolaan penyampainya, Irfan Faruqi dan Shuhadah Armawan.\nDalam sesi awal perkongsian, YBrs. Dr. Nagulendran Kangayatkarusu menyatakan bahawa Malaysia Techlympics merupakan antara inisiatif pihak MOSTI dalam mewujudkan persepsi bahawa pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) adalah menarik kepada Keluarga Malaysia, terutamanya dalam kalangan para pelajar dan golongan belia.\nMenyentuh kepada dapatan oleh Jabatan Perangkaan yang menyatakan bahawa minat para pelajar untuk menyambung pengajian pada peringkat pengajian tinggi dalam bidang sains semakin menurun, Akademi Sains Malaysia diminta untuk mengupas tentang hal ini dengan lebih terperinci.\nBeliau berkata, pihak MOSTI telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha membudayakan STI dalam kalangan Keluarga Malaysia termasuklah program Malaysia Techlympics yang\u00a0 menyokong pembelajaran secara formal bagi subjek STEM yang diajar di sekolah ataupun di institusi pengajian tinggi. Program ini yang lebih berbentuk interaktif telah berjaya menarik minat para pelajar dan golongan belia untuk lebih meminati bidang STEM.\nMenurut beliau, Malaysia Techlympics 2022 yang menyasarkan sebanyak sejuta penyertaan telah pun berjaya mencapai angka tersebut dan diharapkan daripada penyertaan ini, sebanyak 2000 idea dapat diutarakan untuk dikomersialkan.\nTambah beliau lagi, sambutan hangat oleh Keluarga Malaysia terhadap program ini juga dibuktikan dengan sebanyak 26 900 orang telah melayari laman sesawang Malaysia Techlympics.\nMalaysia Techlympics 2022 merangkumi lima tema, iaitu Kecerdasan Buatan dan Sains Data, Eksplorasi Angkasa, Dron dan Aplikasinya, Teknologi Sohor dan Inovasi untuk Kesejahteraan Rakyat dan Kelestarian Alam serta dilaksanakan dengan merangkumi semua golongan termasuklah golongan orang asli dan orang kelainan upaya (OKU).\nKatanya lagi, beliau berharap agar Belanjawan 2023 akan terus menyediakan peruntukan bagi Malaysia Techlympics dalam usaha membudayakan STI dalam kalangan Keluarga Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana melalui program ini, Malaysia mempunyai pemikir hebat yang perlu diketengahkan.\nMengakhiri perkongsian, beliau menyatakan bahawa Malaysia tidak boleh hanya menjadi sebuah negara pengguna teknologi tetapi perlu menjadi negara pengeluar teknologi untuk menjadi sebuah negara maju. Diharapkan melalui Malaysia Techlympics ini, lebih banyak idea dapat dikomersialkan pada masa hadapan." "Peranti Pintar sebagai Bantuan atau Gangguan dalam Pemanduan?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKebelakangan ini, reka bentuk jajaran jalan raya semakin berkembang maju bagi menampung pertumbuhan permintaan lalu lintas. Pembinaan persimpangan yang rumit dan lebuh raya bertingkat boleh mengelirukan pemandu, terutamanya yang memandu buat kali pertama di laluan tersebut. Oleh itu, untuk memudahkan pemandu, terdapat pelbagai saluran maklumat disediakan, sama ada yang dipasang di atas jalan raya ataupun yang terbina dalam peranti pintar.\nAntara peranti yang popular ialah pelayar sistem kedudukan sejagat (GPS), sama ada terbina di dalam telefon pintar atau melalui aplikasi. Hampir semua pemandu pada masa ini seolah-olah terperangkap dalam mimpi ngeri sekiranya mereka diminta untuk memandu tanpa peranti pintar ini.\nDengan bantuan GPS, pemandu diberikan dengan maklumat awal mengenai laluan ke lokasi tanpa bergantung pada peta. Walaupun pemandu hanya terlepas satu selekoh, GPS akan menghitung semula laluan secara automatik dan membawa pemandu ke tempat yang hendak dituju dengan tekanan dan gangguan yang minimum.\nGPS juga meningkatkan keselamatan pemanduan pada waktu malam kerana peranti ini akan memaklumkan pemandu tentang setiap belokan dan tanjakan jalan sebelum pemandu dapat melihatnya secara nyata.\nSebagai contohnya, sistem GPS di Amerika Syarikat telah menyebabkan lebih daripada dua ratus ribu kemalangan pada setiap tahun. Kemalangan ini adalah akibat peta navigasi yang tidak tepat, arah dan lokasi yang salah serta pemanduan yang terganggu. Sistem GPS yang lapuk memberikan maklumat yang tidak betul, manakala sistem yang lebih baharu cenderung untuk mengalihkan perhatian pemandu dengan pelbagai\u00a0aplikasi tambahan.\nSelain itu, di dalam kenderaan seperti kereta, peranti pintar berada pada kedudukan yang sangat dekat dengan pemandu. Alat seperti pengesan radar kereta yang mengambil isyarat radar polis dan memberitahu pemandu tentangnya mungkin berguna bukan sahaja kepada pemandu yang memandu dengan kelajuan tinggi, malah untuk pemandu yang bertanggungjawab yang sentiasa memerlukan amaran tentang keadaan bahaya di jalan raya.\nPada kebiasaannya, telefon pintar digunakan bagi menggantikan peta secara manual. Oleh itu, adalah penting untuk pemandu menggunakan pelekap telefon ketika memandu. Pemandu juga tidak terganggu untuk menjawab panggilan telefon atau mengeluarkan telefon daripada beg semasa memandu jika menggunakannya. Hal ini akan menyebabkan perhatian pemandu akan kekal tertumpu pada jalan raya sekali gus meningkatkan keselamatan pemanduan.\nKereta moden pada masa ini mempunyai skrin sentuh yang lebih besar, yakni kebanyakan fungsi di dalam kereta dipasang di dalamnya. Menurut kajian sebuah organisasi keselamatan jalan raya di United Kingdom, penggunaan antara muka skrin sentuh maklumat hibur lebih meningkatkan masa tindak balas pemandu daripada menggunakan telefon di tangan. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa pengendalian aplikasi maklumat hibur meningkatkan masa tindak balas hingga 57 peratus untuk menghantar mesej sambil memandu dan 46 peratus untuk panggilan dengan telefon tangan.\nKajian ini juga mendapati bahawa pemandu mengalihkan pandangan mereka daripada jalan raya selama 16 saat apabila menggunakan mana-mana sistem. Hal ini mengakibatkan sisihan kedudukan lorong sebanyak 530 meter pada kelajuan 112 kilometer/jam. Selain itu, pemandu yang diuji dalam kajian ini juga tidak dapat mengekalkan kelajuan dan jarak yang konsisten dengan kenderaan lain di jalan raya.\nOleh itu, teknologi yang berkembang pesat mempunyai potensi besar untuk menjejaskan keselamatan pemanduan, sama ada secara positif ataupun negatif. Perkembangan teknologi juga menjadi faktor pemandu muda mengalami kemalangan yang lebih kerap. Hal ini menguatkan potensi positif dan negatif akan penggunaan teknologi baharu pada masa ini.\nGolongan pemandu muda kebiasaannya amat terdedah kepada gangguan yang ditimbulkan oleh sistem maklumat hibur walaupun teknologi ini memberikan manfaat yang besar sebagai sistem sokongan pemandu.\u00a0Kegagalan dalam mengurus teknologi boleh menyebabkan pemandu muda menghadapi\u00a0\u201cperfect storm\u201c\u00a0terhadap teknologi baharu yang muncul.\u00a0Dari sisi lain, walaupun peranti ini berguna, namun teknologi ini juga boleh membawa maut jika dikendalikan dengan cuai.\u00a0\nSelain itu, peranti seperti paparan maklumat boleh ubah (VMS) yang boleh dijumpai di jalan raya digunakan untuk menyiarkan mesej kepada pemandu tentang maklumat kemalangan, masa perjalanan, lencongan, peristiwa khas dan keadaan jalan. Kebanyakan tempat di Amerika Syarikat pada masa ini telah menggunakan VMS.\nVMS juga telah menjadi trend dan dapat dilihat di kebanyakan lebuh raya di negara ini. VMS sering dirujuk sebagai paparan maklumat boleh ubah atau paparan maklumat dinamik (DMS), menyampaikan maklumat trafik kepada pemandu sama ada dalam masa nyata atau semasa kenderaan tidak bergerak.\nDi samping itu, VMS dan DMS juga memaparkan mesej segera apabila berlakunya kemalangan yang berpotensi menyebabkan kesesakan lalu lintas. Hal ini secara tidak langsung membantu pemandu untuk mengubah hala lalu lintas dengan serta-merta pada masa nyata yang membolehkan perkhidmatan kecemasan sampai ke lokasi secepat mungkin sekali gus mengurangkan kemungkinan kematian.\nPapan VMS juga digunakan untuk memaparkan mesej amaran semasa bencana alam seperti taufan dan banjir. Orang ramai juga dimaklumkan tentang malapetaka yang akan datang supaya mereka boleh bersedia. VMS turut digunakan untuk mengawal kelajuan kenderaan di lebuh raya, membantu menyelaras lalu lintas sekali gus mengurangkan kemalangan dan kejadian yang tidak diingini.\nNamun begitu, tinjauan yang dilakukan terhadap 150 orang peserta di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa sistem VMS ini telah menyebabkan pemandu memperlahankan kenderaan. Mesej yang panjang dengan ayat yang kompleks atau disingkatkan juga menyebabkan para pemandu memperlahankan kenderaan dengan lebih lama.\nDalam tinjauan lain yang dilakukan terhadap 3342 buah kenderaan pula mendapati bahawa pengurangan kelajuan yang besar telah dicerap. Berdasarkan pemerhatian video, sebahagian besar kenderaan membrek semasa menghampiri VMS. Pengurangan kelajuan dan gerakan brek boleh dikaitkan dengan beban perhatian atau gangguan disebabkan oleh maklumat pada VMS.\nWalau bagaimanapun, sebahagian daripada pengurangan kelajuan adalah disebabkan oleh tindak balas berantai, yakni apabila sebuah kenderaan membrek, maka akan menyebabkan kenderaan lain juga membrek atau menukar lorong untuk mengelakkan perlanggaran. Masalah keselamatan yang berlaku mungkin berpunca secara langsung daripada gangguan atau secara tidak langsung daripada reaksi pemandu terhadap gangguan disebabkan oleh VMS dan DMS.\nSementara itu, kelewatan dan kesesakan jalan raya boleh mengganggu emosi dan mengubah cara pemandu menilai risiko dan membuat keputusan ketika memandu. Apabila emosi yang kuat seperti kemarahan mempengaruhi pemandu, keupayaan untuk membuat keputusan yang bijak mungkin berkurangan dan meningkatkan kesilapan semasa memandu.\nKesemua kaedah penyampaian maklumat dan pembantu pemanduan ini sangat berguna dan bermanfaat sekiranya digunakan dengan baik dan berhati-hati. Pemandu hendaklah peka terhadap apa-apa kaedah penyampaian maklumat bagi mengelakkan gangguan semasa pemanduan. Pemandu yang cekap dan berpengetahuan adalah aset di atas jalan raya.\nSelain itu, peranti pintar diwujudkan bagi mengelakkan kemalangan dan bukannya sebagai punca kemalangan atau meragut nyawa. Walau sepintar mana pun peranti yang digunakan, peranti ini masih tidak dapat menandingi reaksi dan keupayaan pemandu untuk membuat sesuatu keputusan dalam pemanduan.\n\u00a0\nDr. Suzielah Rahmad, mantan pelajar Doktor Falsafah, Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Profesor Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff, pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam, UKM." "Ayat Majmuk Pancangan Klausa Bebas (Semu)\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKlausa bebas ialah klausa utama yang mengandungi komponen subjek dan predikat, dan dapat menjadi ayat jika intonasinya sempurna. Klausa komplemen pula merupakan klausa subordinat yang terpancang pada klausa utama untuk menghasilkan ayat majmuk pancangan. Dalam hal ini, kata hubung komplemen yang berkenaan ialah kata bahawa\u00a0dan untuk. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a. \u00a0Dia mengakui perkara itu.\n1b. \u00a0Dia mengakui bahawa dirinya malas.\nAyat 1a merupakan ayat tunggal dengan subjek dia\u00a0dan predikat yang terdiri daripada kata kerja transitif mengakui\u00a0dan frasa nama objek perkara itu. Ayat 1b pula merupakan ayat majmuk pancangan komplemen dengan klausa utama dia mengakui perkara itu, dan klausa komplemen yang terpancang, iaitu bahawa dirinya malas. Dalam hal ini, klausa komplemen bahawa dirinya malas\u00a0menduduki gatra frasa nama objek perkara itu. Perbezaannya ialah rangkaian kata perkara itu\u00a0hanya merupakan frasa, manakala klausa komplemen bahawa dirinya malas berpangkalkan kata hubung komplemen bahawa\u00a0diikuti subjek dirinya\u00a0dan predikat malas.\n2b. \u00a0Perkara itu\u00a0memang susah.\n2a. \u00a0Untuk dia lulus kali ini\u00a0memang susah.\nAyat 2a merupakan ayat tunggal dengan subjek perkara itu\u00a0dan frasa adjektif predikat memang susah. Ayat 2b pula merupakan ayat majmuk pancangan komplemen dengan klausa utama perkara itu memang susah, dan klausa komplemen yang terpancang, iaitu untuk dia lulus kali ini. Dalam hal ini, klausa komplemen untuk dia lulus kali ini\u00a0menduduki gatra frasa nama subjek perkara itu. Perbezaannya ialah rangkaian kata perkara itu\u00a0hanya merupakan frasa, manakala klausa komplemen untuk dia lulus kali ini\u00a0berpangkalkan kata hubung komplemen untuk\u00a0diikuti subjek dia\u00a0dan predikat lulus kali ini.\nKlausa bebas boleh kita susun secara berderetan dengan menggunakan kata hubung atau koma. Sila lihat contoh yang berikut:\n3a. \u00a0Dia dan ibunya ke pasar.\n3b. \u00a0Ali, Ahmad dan Abu ke sekolah.\n3c. \u00a0Dia akan membeli betik atau pisang.\n3d. \u00a0Dia mahu membeli rumah tetapi wangnya tidak cukup.\nDalam ayat 3a, klausa bebas dia ke pasar\u00a0dan klausa bebas ibunya ke pasar\u00a0dirangkaikan dengan kata hubung gabungan dan. Dalam ayat 3b, klausa bebas Ali ke sekolah, klausa bebas Ahmad ke sekolah\u00a0dan klausa bebas Abu ke sekolah\u00a0dirangkaikan dengan tanda koma dan kata hubung gabungan dan. Dalam ayat 3c, klausa bebas dia akan membeli betik\u00a0dan klausa bebas dia akan membeli pisang\u00a0dirangkaikan dengan kata hubung gabungan atau. Dalam ayat 3d, klausa bebas dia mahu membeli rumah\u00a0dan klausa bebas wangnya tidak cukup\u00a0dirangkaikan dengan kata hubung gabungan tetapi. Dalam hal ini, kata hubung yang terletak di antara dua klausa bebas merupakan entiti yang tersendiri, dan tidak memihak kepada mana-mana klausa yang dirangkaikannya.\nOleh sebab pertembungan masyarakat bahasa Melayu dengan masyarakat bahasa asing, pelbagai konsep baharu mencurah-curah masuk ke persekitaran hidup kita. Selain itu, keperluan untuk mengungkapkan ilmu yang pelbagai turut menjadikan struktur bahasa Melayu semakin kompleks, berbanding dengan zaman dahulu. Oleh itu, timbullah keperluan untuk kita menerima kemungkinan struktur ayat yang baharu. Hal ini tidak asing bagi bahasa Melayu. Kalau kita membandingkan bahasa Melayu moden dengan bahasa Melayu klasik, sudah tentu kita akan dapat mengesan pelbagai perubahan yang telah berlaku.\nSatu kejadian baharu yang telah berlaku ialah klausa bebas yang terpancang dalam klausa bebas yang lain. Sila lihat contoh yang berikut:\n4a. \u00a0Dia membiarkan hal itu.\n4b. \u00a0Dia membiarkan anaknya berbuat jahat.\nAyat 4a merupakan ayat tunggal dengan subjek dia\u00a0dan predikat yang terdiri daripada kata kerja transitif membiarkan\u00a0dan frasa nama objek hal itu. Ayat 4b pula merupakan ayat majmuk pancangan klausa bebas (semu), iaitu klausa bebas pertama ialah dia membiarkan hal itu, dan klausa bebas kedua anaknya berbuat jahat.\u00a0Perbezaannya ialah rangkaian kata hal itu\u00a0hanya merupakan frasa, manakala klausa bebas anaknya berbuat jahat\u00a0terdiri daripada subjek anaknya\u00a0dan predikat berbuat jahat. Selain itu, klausa bebas yang terpancang itu tidak boleh berpangkalkan sebarang kata hubung pancangan komplemen.\n5a. \u00a0Jangan benarkan hal itu.\n5b. \u00a0Jangan benarkan dia balik.\n6a. \u00a0Tolong izinkan hal itu.\n6b. \u00a0Tolong izinkan Ahmad bercuti.\nAyat 5a merupakan ayat larangan tunggal dengan subjek (awak)\u00a0dan predikat yang terdiri daripada kata kerja transitif benarkan\u00a0dan frasa nama objek hal itu. Kata jangan merupakan kata larangan. Ayat 4b pula merupakan ayat larangan majmuk pancangan klausa bebas (semu), iaitu klausa bebas pertama ialah jangan awak benarkan hal itu, dan klausa bebas kedua dia balik. Ayat 6a merupakan ayat permintaan tunggal dengan subjek (awak)\u00a0dan predikat yang terdiri daripada kata kerja transitif izinkan\u00a0dan frasa nama objek hal itu. Kata tolong\u00a0merupakan kata permintaan. Ayat 6b pula merupakan ayat majmuk pancangan klausa bebas (semu), iaitu klausa bebas pertama ialah Tolong\u00a0(awak) izinkan hal itu, dan klausa bebas kedua Ahmad bercuti.\nBagaimanakah ayat majmuk pancangan klausa bebas dapat dipasifkan? Sila lihat contoh yang berikut.\n7a. \u00a0Anaknya dibiarkannya berbuat jahat.\n7b. \u00a0Anaknya yang berbuat jahat dibiarkannya.\nDalam ayat 7a, terdapat dua klausa bebas, iaitu anaknya dibiarkannya\u00a0dan anaknya berbuat jahat. Ayat 7b pula merupakan ayat majmuk pancangan relatif, iaitu frasa nama anaknya\u00a0dengan klausa relatif yang berbuat jahat\u00a0menjadi subjek dan kata kerja pasif dibiarkannya\u00a0menjadi predikat. Walau bagaimanapun, maksud ayat 7a lebih tepat berbanding dengan ayat 7b." "Pelan Induk Baharu Taman MRANTI Memupuk Keupayaan Malaysia dalam IR 4.0\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Taman MRANTI, iaitu taman teknologi dan hab inovasi terunggul di negara ini akan dinaik taraf untuk mencergaskan semula ekosistem teknologi Malaysia. Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob telah merasmikan Pelan Induk Baharu Taman MRANTI yang akan memberikan tumpuan pada tiga teras pembangunan, iaitu inovasi, kemampanan alam sekitar dan budaya urban atau setempat, semalam.\nMenurut YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, Pelan Induk Baharu Taman MRANTI ini akan memupuk keupayaan Malaysia dalam mendepani Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan juga teknologi terkini daripada sistem Internet benda (IoT), perkhidmatan protokol Internet (IP) dan makmal kepada kemudahan pembuatan kontrak dengan teknologi canggih.\nTaman MRANTI ini akan dilengkapi dengan infrastruktur moden termasuklah jalur lebar berkelajuan tinggi dan teknologi 5G selain insentif dan peluang pembiayaan yang direka untuk menarik golongan profesional muda serta mewujudkan laluan yang stabil bagi bakat berkemahiran tinggi.\nTambah beliau lagi, pelan ini juga dijangka dapat mencipta lebih 8000 peluang pekerjaan baharu untuk Keluarga Malaysia. Taman MRANTI yang mempunyai kawasan seluas 686 ekar ini telah menarik minat banyak syarikat teknologi, termasuklah InterVenn Biosciences, Dedikasi ABA Biosciences, BoomGrow, Spygene Laboratories, Vivantis Technologies dan Reszon.\nLokasi Taman MRANTI yang terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar Malaysia, sebuah hab perniagaan global dan pemangkin transformasi Greater KL membolehkan Taman MRANTI berperanan menyelaras keluaran penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke pasaran menerusi ekosistem bersepadu dengan memusatkan semua aktiviti teknologi dan inovasi secara setempat.\nTaman MRANTI ini juga menyaksikan kerjasama dengan lima buah koridor ekonomi, iaitu Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC), Iskandar Malaysia dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dalam mempromosikan dan mengguna pakai keluaran teknologi R&D serta pengkomersialan.\nJelas beliau lagi, lima kluster teknologi sedang dibangunkan di Taman MRANTI, iaitu teknologi dron, pertanian, kesihatan, biosains dan pemboleh 4IR dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM20 bilion dan nilai pulangan sebanyak RM2.8 bilion melalui pajakan tanah oleh MRANTI kepada para pelabur.\nPada masa yang sama, YAB Perdana Menteri turut mengumumkan penjenamaan semula MIMOS Berhad kepada MIMOS Global bagi melambangkan imej baharu yang lebih meluas serta bersesuaian dengan daya saing bidang teknologi yang tidak mengenal sempadan.\nBeliau berharap MIMOS Global akan terus bekerja keras untuk membantu kerajaan memacu pembangunan dan meningkatkan penguasaan dalam sektor kepakarannya, manakala kerajaan pula bertindak menyediakan sokongan kewangan dan kemudahan yang sewajarnya." "Terumbu Karang Semakin Terancam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTerumbu karang terbentuk daripada kulit atau tulang karang, polip, kerang dan tiram yang mati. Kesemua bahan ini dimendapkan bersama-sama di dasar laut. Polip baharu akan tumbuh pada bahan mendap yang lama dan membentuk terumbu karang. Terumbu karang merupakan satu ekosistem marin yang unik, kompleks, tinggi produktivitinya dan paling biodiversiti di bumi ini.\nTerumbu karang telah wujud sejak beribu tahun yang lalu, malah berjuta tahun dahulu dan terbina daripada organisma yang sangat kecil saiznya. Kebanyakan terumbu karang yang tua telah wujud sejak 25 juta tahun dahulu. Terumbu karang membesar dengan cepat di dalam air\u00a0yang jernih dan ditembusi oleh cahaya matahari.\nCahaya matahari adalah penting dalam ekosistem terumbu karang bagi menjamin pertumbuhannya. Terumbu karang hidup subur pada suhu 20 darjah Celsius hingga 28 darjah Celsius. Terumbu karang juga didapati membesar dengan cepat di kawasan tindak balas ombak yang kuat. Ombak membawa makanan, nutrien, menyebarkan larva karang laut dan menghalang pemendapan sedimen pada terumbu karang.\nTerumbu karang memainkan peranan penting sebagai tuan rumah kepada hidupan marin. Kawasan terumbu karang menjadi habitat pelbagai spesies ikan komersial untuk berlindung, membiak dan mencari makanan. Keindahan terumbu karang yang pelbagai spesies, warna dan bentuknya menjadikan pesona ekosistem hidupan marin di dasar laut.\nHabitat terumbu karang di Malaysia dianggarkan berkeluasan 4006 kilometer persegi dan nilai terumbu karang negara dianggarkan antara RM10.1 juta hingga RM174 juta setahun. Hal ini tidak termasuk dengan nilai sumbangan terumbu karang kepada sektor perikanan negara, ekopelancongan, perlindungan pesisiran pantai, nilai potensi farmaseutikal dan nilai estetika.\nDi seluruh dunia, terumbu karang dianggarkan menyediakan $375 bilion setahun bagi barangan dan perkhidmatan kepada manusia.\u00a0Sekurang-kurangnya 94 buah negara dan wilayah mendapat manfaat daripada ekopelancongan terumbu karang.\nPelancong di seluruh dunia melawat kawasan terumbu karang untuk menikmati aktiviti rekreasi yang disediakan, termasuklah menyelam skuba, bersnorkel dan menaiki bot untuk melihat keindahan dasar lautan yang begitu memukau pandangan. Selain itu, jumlah manfaat bersih terumbu karang dunia pada setiap tahun dianggarkan sebanyak $29.8 bilion.\nMalangnya, akibat aktiviti manusia yang merosakkan alam seperti yang terjadi di lokasi selaman Paradise One, Pulau Mabul, Semporna, Sabah, terumbu karang kini terancam. Kerja pemulihan kerosakan terumbu karang terpaksa dilakukan di lokasi tersebut apabila tongkang yang membawa bahan binaan dilaporkan telah melanggar terumbu karang di situ.\nKini, terumbu karang lebih terdedah kepada ancaman manusia. Hal ini berikutan susulan tindakan sesetengah individu yang menggunakan pukat tunda dan jaring hantu yang kerap tersangkut serta merosakkan terumbu karang yang berada di dasar lautan.\nSelain itu, perubahan iklim dunia serta kesan antropogenik seperti peningkatan paras laut dan pengasidan air laut pula memberikan impak besar kepada kemerosotan kesihatan ekosistem marin seperti berlakunya kelunturan karang. Untuk makluman, terumbu karang mengambil masa selama bertahun-tahun untuk tumbuh semula dengan baik, terutamanya dengan adanya tekanan seperti pelunturan karang. Keadaan ini menyebabkan habitat ekosistem terumbu karang semakin terhakis.\nDi perairan Malaysia, terdapat empat spesies terumbu karang yang dikenal pasti sebagai sensitif dan perlu dipulihara. Empat jenis terumbu karang tersebut adalah daripada jenis Acropora, Montipora, Millepora dan Porites. Terumbu karang jenis ini sudah diwartakan oleh kerajaan sebagai khazanah negara yang perlu dipelihara dan dipulihara supaya tidak pupus. Hasil daripada kaji selidik oleh Reef Check Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia pada tahun 2020 mendapati bahawa kesihatan terumbu karang di perairan negara ini semakin menurun.\nDi Malaysia, Taman Laut ialah kawasan perairan laut yang ditubuhkan untuk melindungi dan memulihara pelbagai habitat hidupan marin termasuklah terumbu karang. Taman Laut ditugaskan untuk mengurus ancaman di kawasan terumbu karang yang dilindungi. Aktiviti pemantauan dilakukan pada setiap tahun untuk mengenal pasti status hidupan marin di Taman Laut. Hal ini perlu dilakukan bagi memastikan terumbu karang yang menjadi sumber ekologi dan ekonomi negara mampu untuk terus menyediakan pelbagai perkhidmatan ekosistem kepada manusia.\nDi samping itu, Taman Laut juga merupakan kawasan perairan laut sejauh dua batu nautika (kecuali Pulau Kapas di Terengganu dan Pulau Kuraman; Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Rusukan Besar di Labuan sejauh satu batu nautika) dari tikas air surut terendah yang dizonkan sebagai kawasan terhad atau pelindung sumber lautan termasuklah komuniti terumbu karang yang kaya dengan flora dan fauna.\nSebanyak 42 pulau di seluruh negara diwartakan sebagai Taman Laut membabitkan 13 perairan di Terengganu, sembilan perairan di Pahang, 13 perairan di Johor, empat perairan di Kedah dan tiga perairan di Labuan. Pengezonan perairan laut itu berikutan Malaysia antara 12 buah negara mega biodiversiti di dunia dan terletak dalam kawasan Segitiga Terumbu Karang yang dikelilingi oleh perairan Laut Andaman, Selat Melaka, Laut Sulu dan Laut Sulawesi. Hal ini menjadikan Malaysia kaya dengan biodiversiti marin berikutan 83 peratus spesies terumbu karang di dunia telah direkodkan.\nSelain menjaga ekosistem, Taman Laut turut menjadi penyumbang terbesar dalam industri pelancongan negara apabila taman ini menjadi pilihan utama pelancong untuk menikmati keindahan dasar laut serta alam semula jadi di sekitarnya. Dianggarkan nilai ekonomi keseluruhan dijana daripada perkhidmatan ekosistem Taman Laut sebanyak RM8.7 bilion setahun.\nBeberapa kawasan di perairan negara juga diwartakan sebagai Taman Laut seperti Pulau Lima di Johor, Pulau Besar di Melaka, Tanjung Tuan di Port Dickson serta Pulau Songsong di Kedah. Pada tahun 2018, Taman Laut Malaysia berjaya mengekalkan dan meningkatkan tahap kesihatan terumbu karang pada tahap 26 peratus hingga 50 peratus.\nPenubuhan Taman Laut pada tahun 1994 adalah hasil cetusan idea daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pada ketika itu merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keempat sebagai usaha pengurusan sumber marin yang lebih sistematik untuk masa hadapan khazanah laut negara. Kini, Taman Laut di seluruh negara yang sebelum ini diletakkan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah diserahkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi agensinya, Jabatan Perikanan yang berkuat kuasa pada 19 Oktober 2018.\nLangkah kerajaan dalam menggabungkan Taman Laut ke Jabatan Perikanan bagi menyusun semula tanggungjawab sumber perikanan di bawah jabatan berkenaan supaya peranan dan fungsi jabatan dapat dipertingkatkan. Hal ini membolehkan jabatan berkenaan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam aspek pengurusan, terutamanya hal berkaitan dengan kebersihan dan pengurusan sampah.\nSementara itu, pembabitan orang awam dalam program Taman Laut juga adalah sangat memberangsangkan apabila kempen atau mesej yang dihebahkan mendapat sambutan baik dan diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat. Usaha berkenaan menunjukkan hasil apabila generasi muda kini lebih memahami akan kepentingan pemuliharaan kehidupan marin yang dilaksanakan oleh kerajaan.\nSejak peringkat sekolah lagi generasi muda sudah didedahkan dengan kepentingan dalam menjaga alam sekitar termasuklah di kawasan laut menerusi media massa. Kini, media sosial memainkan peranan yang lebih penting dalam menyalurkan maklumat yang lebih cekap.\nMalaysia juga akan menjadikan Taman Laut di luar negara sebagai penanda aras bagi menentukan kejayaan dalam pengurusan Taman Laut di negara ini. Jabatan Perikanan juga telah melaksanakan Tinjauan Semakan Terumbu Karang berdasarkan falsafah \u201cSpesies Petunjuk\u201c sebanyak dua kali dalam setahun bagi mengenal pasti organisma marin yang terdapat secara meluas pada terumbu karang.\nJabatan Perikanan juga mengadaptasi metodologi standard reef check untuk pemantauan terumbu karang yang membolehkan saintis dan pengurus mengesan perubahan pada terumbu karang dari semasa ke semasa. Tinjauan tukun secara tetap juga dilakukan bagi mengenal pasti perubahan awal terumbu karang supaya langkah pemulihan dapat diambil sekali gus memberikan peluang kepada individu berkaitan untuk menjalankan kajian dengan lebih terperinci bagi meminimumkan kerosakan kekal.\nMalaysia berhadapan dengan cabaran besar dalam mengurus ekosistem marin. Namun begitu, negara tetap komited dalam melakukan pelbagai mekanisme untuk melindungi dan memulihara terumbu karang. Malaysia juga komited dalam mencapai Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan termasuklah sekurang-kurangnya 20 peratus kawasan darat dan perairan pedalaman, selain 10 peratus kawasan pesisir dan laut yang dilestarikan melalui sistem perwakilan kawasan perlindungan dan langkah pemuliharaan menjelang tahun 2025.\nTidak ketinggalan juga, Malaysia ingin mencapai sasaran Hidupan di Lautan (SDG-14), iaitu menyasarkan 10 peratus kawasan pesisiran dan perairan marin dipelihara sebagai Kawasan Perlindungan Marin.\nHingga kini, sebanyak 1 510 037.3 hektar, iaitu 3.27 peratus daripada keseluruhan kawasan perairan negara diwartakan sebagai kawasan perlindungan marin. Sekiranya pengeksploitasian tidak terkawal, sumber terumbu karang berisiko dalam menghadapi kepupusan dan seterusnya menjejaskan keseluruhan ekosistem dan sumber lain. Malaysia diiktiraf sebagai antara 12 buah negara mega biodiversiti di dunia dengan industri perikanan negara berikutan menyumbang sebanyak RM14.5 bilion setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.\nSememangnya habitat terumbu karang yang dianggarkan berkeluasan 4006 kilometer persegi menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara, terutamanya komuniti pesisiran pantai yang bergantung pada sumber marin. Oleh itu, masyarakat perlu memainkan peranan dalam memelihara terumbu karang ini daripada diancam kepupusan." "Raja Muda Perlis Berkenan Menyempurnakan Program Kesihatan Komuniti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nChuping \u2013 Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan majlis pelancaran Program Kesihatan Komuniti yang dianjurkan oleh Institut Jantung Negara (IJN) di Masjid Nurul Huda, Felda Chuping, petang semalam.\nProgram yang dijalankan selama dua hari ini, iaitu pada 7 Oktober 2022 di Masjid Nurul Huda dan 8 Oktober 2022 di Dataran Semarak, Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis memberikan manfaat dan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk yang hadir dalam program berkenaan.\nMenyambut keberangkatan baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif IJN, YBhg. Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim, Ketua Jabatan Pembedahan Jantung IJN, YBrs. Profesor Dr. Alwi Mohamed Yunus dan Pakar Bius, YBhg. Dato\u2019 Dr. Syed Abdul Aziz Syed Zin Benyahya.\nMenurut YBhg. Datuk Dr. Aizai Azan, pihak IJN membawa sebanyak 25 orang pakar perunding berserta para sukarelawan IJN ke Perlis untuk memberikan kaunseling kesihatan kepada penduduk setempat dan menyediakan surat rujukan ke hospital atau klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan susulan bagi individu yang memerlukan.\nTambah beliau lagi, IJN juga membawa perkhidmatan khas untuk kanak-kanak, iaitu penilaian am dari kepala hingga kaki, demonstrasi resusitasi kardiopulmonari (CPR) serta aktiviti kanak-kanak seperti mewarna dan teknik mencuci tangan.\nDalam program tersebut juga, DYTM Raja Muda Perlis berkenan menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM11 600 kepada 29 orang asnaf terpilih. Masing-masing menerima RM400 setiap seorang dalam kalangan anak kariah Masjid Nurul Huda untuk diagihkan oleh amilnya, Encik Shafizan Salim bersempena dengan Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke-20 bagi tahun 2022.\nTurut hadir ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, YBrs. Dr. Ismuni Bohari, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi." "Raja Puan Muda Perlis Berangkat Menyempurnakan Majlis Penutupan Program Kesihatan Komuniti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Perlis \u2013 Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penutupan Program Kesihatan Komuniti anjuran Institut Jantung Negara (IJN) di Dataran Semarak, Kampung Seberang Ramai semalam.\nMenyambut keberangkatan tiba baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim, Ketua Jabatan dan Perunding Kanan Pakar Bedah Kardiotorasik IJN, Profesor Dr. Alwi Mohamed Yunus dan Pakar Runding Anestesiologi Jantung, Datuk Dr. Syed Abdul Aziz Syed Zin Benyahya.\nProgram dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis ini berlangsung selama dua hari di Masjid Nurul Huda, Felda Chuping dan di Kampung Seberang Ramai yang merupakan perkampungan warna-warni melalui pelaksanaan Projek DiRaja Program Transformasi Kampung Seberang Ramai.\nMenurut Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim, Program Inisiatif Sosial IJN ini bermula pada tahun 2007 dan diwujudkan untuk mendekati komuniti di luar bandar di samping menawarkan saringan dan perawatan asas sebagai langkah pencegahan daripada penyakit jantung.\nPada tahun 2016, pihak IJN mula melebarkan sayap perkhidmatan menggunakan klinik bergerak yang dilengkapi dengan peralatan imbasan jantung. Melalui program ini juga, pihak IJN telah menyaring sebanyak 46 150 pesakit dan telah menjelajah ke 138 lokasi di seluruh Semenanjung Malaysia. Pada tahun ini, negeri Perlis merupakan lokasi yang keempat selepas program ini dilaksanakan di Langkawi, Johor Bahru dan Ipoh.\nBeliau juga mengucapkan penghargaan kepada MAIPs dan YTSP Perlis yang telah memberikan kerjasama yang baik dalam memastikan kelangsungan dan kejayaan program ini.\nMelalui program ini, masyarakat setempat di kedua-dua kawasan tersebut berpeluang mendapatkan perkhidmatan ujian saringan kesihatan seperti Indeks Jisim Badan (BMI), ujian tekanan darah, ujian gula dan kolesterol di dalam darah, ujian elektrokardigram dan ujian ekokardiografi." "Konsep One Health Mendukung Kesihatan dan Kesejahteraan Sejagat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nOne Health merupakan konsep yang membawa maksud kesihatan untuk semua. Konsep kesihatan holistik ini diwujudkan untuk menjamin kesejahteraan dan kesihatan beberapa pihak berkepentingan seperti manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar.\nHubungan antara manusia, haiwan dan alam sekitar adalah sangat rumit dan saling berkaitan. Kesilapan yang berlaku pada mana-mana bahagian hubungan ini mampu membawa kepada bencana yang agak serius. Oleh itu, suatu pendekatan yang komprehensif dan inklusif telah diwujudkan, iaitu pendekatan One Health.\nAntara bidang yang terlibat dalam pendekatan One Health termasuklah kesihatan manusia (doktor, jururawat, pengamal kesihatan awam dan ahli epidemiologi); \u00c2\u00a0kesihatan haiwan (veterinar, pengusaha dan pekerja pertanian); alam sekitar (ahli ekologi dan pakar hidupan liar atau zoologi) dan lain-lain. Selain itu, One Health turut dilaksanakan pada semua peringkat masyarakat setempat, serantau, kebangsaan mahupun antarabangsa.\nOne Health dirangkakan untuk menangani beberapa cabaran global seperti penyakit zoonotik, penyakit bawaan makanan, ketahanan antibiotik dan perubahan iklim. Pada masa ini, dianggarkan sebanyak 60 peratus daripada patogen manusia diperoleh daripada spesies haiwan lain. Sebagai contohnya, pandemik COVID-19 yang melanda dunia merupakan antara contoh penyakit zoonotik. COVID-19 dikatakan berjangkit daripada kelawar kepada manusia melalui beberapa spesies haiwan yang lain. Situasi jangkitan penyakit daripada haiwan kepada manusia ini juga dikenali sebagai limpahan zoonosis (zoonotic spillover).\nSelain COVID-19, antara penyakit zoonotik yang paling kerap dilaporkan Malaysia termasuklah denggi. Denggi disebarkan melalui nyamuk Aedes dan boleh menyebabkan kematian. Di Malaysia, wabak denggi secara besar-besaran dilaporkan berlaku pada tahun 1974, 1978, 1982 dan 1990. Hal ini menunjukkan kitaran jangkitan denggi berlaku pada setiap empat tahun. Menurut Health Facts 2021 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, kadar insiden denggi bagi setiap 100 000 penduduk meningkat dalam tempoh 12 tahun, iaitu daripada 167.76 orang pada tahun 2008 kepada 276.11 orang pada tahun 2020.\nPenyakit bawaan makanan seperti salmonelosis yang disebabkan oleh bakteria Salmonella merupakan keracunan makanan yang biasa dilaporkan di Malaysia. Bakteria ini biasanya akan mengkolonisasi sistem pembiakan ayam lalu mencemari telur dan alam sekitar. Jangkitan gastroenterik yang disebabkan oleh Salmonella masih berterusan di Malaysia dan menjadi kebimbangan kesihatan awam yang amat serius.\nDi Malaysia, kajian menunjukkan bahawa Salmonella yang diasingkan daripada sampel manusia, ayam, itik dan makanan berkongsi sifat genetik yang sama. Dapatan kajian ini mencadangkan bahawa pencemaran silang dan rentas medium antara manusia, ayam, itik dengan makanan mungkin wujud. Tambahan pula, Salmonella yang diasingkan ini mempunyai ketahanan antibiotik yang kuat, terutamanya terhadap Tetrasiklin dan Ampicillin.\nSelain itu, krisis ketahanan antibiotik juga merupakan satu daripada cabaran utama yang cuba ditangani melalui konsep One Health. Antibiotik kerap digunakan dalam sektor ternakan negara berpendapatan rendah dan sederhana seperti Malaysia. Antibiotik ditambahkan dalam makanan haiwan ternakan untuk merawat dan mencegah jangkitan. Antibiotik juga digunakan sebagai penggalak pertumbuhan supaya kadar pertumbuhan dan pengeluaran produk ternakan dapat ditingkatkan.\nPenggunaan antibiotik yang berleluasa dalam penternakan telah mendorong kepada penyebaran bakteria tahan antibiotik. Misalnya, selepas antibiotik dimakan oleh ternakan, bakteria komensal ternakan tersebut memperoleh ketahanan antibiotik supaya dapat terus hidup di dalam hosnya. Apabila ternakan itu membuang air besar dan dibersihkan dengan air, bakteria tahan antibiotik ini dikeluarkan bersama-sama lalu mencemari air.\nJika tidak dirawat, air efluen yang mengandungi sisa antibiotik dan bakteria tahan antibiotik ini akan mencemari sungai, laut, mahupun air bawah tanah. Sebagai kesannya, mikrobiom persekitaran terjejas dan lebih banyak bakteria dalam persekitaran ini akan tahan kepada antibiotik.\nSebagai kesimpulannya, One Health merupakan pendekatan berkesan dalam menangani cabaran kesihatan antara manusia, haiwan dengan alam sekitar. Beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan sejak konsep One Health ini diperkenalkan. Antaranya termasuklah pemantauan jangkitan zoonosis menggunakan pemodelan ekologi dan peninjauan jangkitan antara haiwan liar dengan haiwan ternakan di samping penyebaran ketahanan antibiotik antara haiwan tersebut.\nOne Health merupakan inisiatif keseluruhan yang melibatkan pakar daripada pelbagai bidang yang perlu bersinergi antara satu sama lain supaya matlamat One Health, iaitu mencipta masa depan yang lebih mapan dan sihat untuk generasi yang akan datang dapat dicapai.\nPenulis ialah Pegawai Penyelidik di Institut Biologi Molekul Perubatan (UMBI), Universiti Kebangsaan Malaysia." "Pelajari Kesan Pengurusan Pandemik \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 \u201cKrisis pandemik yang melanda negara sebelum ini jelas menunjukkan bahawa terdapat ketidakseimbangan dalam sumber dan tenaga kerja apabila keadaan ini berkait rapat dengan penjagaan kesihatan. Kita perlu mempelajari kesan daripada pengurusan pandemik ini agar dapat ditambah baik dari semasa ke semasa.\u201d\nDemikian titah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam aktiviti kayuhan amal anjuran Majlis Agama Islam dan Adat istiadat Melayu Perlis (MAIPs) baru-baru ini.\nTambah baginda lagi, Malaysia telah pun memasuki fasa peralihan endemik pada April 2022 dan masyarakat perlu membiasakan diri dengan segala kaedah baharu dalam penjagaan kesihatan diri sendiri serta orang di sekeliling, khususnya dalam kalangan ahli keluarga. Namun begitu, masyarakat juga perlu berhati-hati memandangkan virus COVID-19 ini masih berada dalam persekitaran.\nKetua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN), YBhg. Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim, Ketua Jabatan dan Perunding Kanan Pakar Bedah Kardiotorasik IJN, YBrs. Profesor Dr. Alwi Mohamed Yunus dan Pakar Runding Anestesiologi Jantung, YBhg. Dato\u2019 Dr. Syed Abdul Aziz Syed Zin Benyahya turut hadir mengiringi baginda dalam program MAIPs Peduli ini untuk membantu masyarakat kurang berkemampuan dan mempromosikan gaya hidup sihat secara langsung dalam kalangan komuniti tersebut.\nSelain sumbangan agihan zakat berupa wang tunai, beras dan pek bahan makanan mentah daripada MAIPs, asnaf terpilih juga menerima perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dengan menggunakan peralatan canggih daripada pakar dan sukarelawan daripada IJN serta pegawai daripada Jabatan Kesihatan Negeri.\nAntara asnaf terpilih yang menerima bantuan dan perkhidmatan ini ialah Encik Izham Awang (69 tahun), Encik Syabudin Saad (45 tahun) dan Encik Omar Ali (67 tahun).\nPada 7 Oktober hingga 8 Oktober 2022 lalu, IJN telah mengadakan Program Kesihatan Komuniti di Masjid Nurul Huda, Felda Chuping dan Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis. Dalam program tersebut, masyarakat di sekitar kawasan tersebut berpeluang mendapatkan saringan dan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan asas yang disediakan oleh pihak IJN." "Modul Program Pengurusan Berat Badan dalam Kalangan Penjawat Awam Dilancarkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 \u201cTinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 mencatatkan prevalen obesiti dalam kalangan orang dewasa berusia 18 tahun ke atas adalah sebanyak 19.7 peratus, manakala 30.4 peratus lagi mengalami berat badan berlebihan. Hal ini bermaksud satu daripada setiap dua orang dewasa di Malaysia (50.1 peratus) mempunyai berat badan berlebihan dan obes.\u201c\nDemikian ucapan Menteri Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), YB Khairy Jamaluddin dalam Majlis Pelancaran Modul Program Pengurusan Berat Badan Trim & Fit dan Pelaksanaan di Semua Kementerian atau Jabatan di Ibu Pejabat KKM, semalam.\n\u201cDaripada jumlah tersebut, masalah obesiti dalam kalangan penjawat awam yang bekerja di agensi atau jabatan kerajaan mencapai 41.4 peratus. Wilayah Persekutuan Putrajaya merupakan negeri yang tertinggi dengan masalah obesiti dalam kalangan orang dewasa, iaitu sebanyak 45.8 peratus,\u201d tambah YB Khairy Jamaluddin.\u00a0\nBerikutan situasi ini, KKM telah mengambil inisiatif dengan mewujudkan Program Pengurusan Berat Badan Trim & Fit, iaitu program intervensi pengurusan berat badan bagi penjawat awam yang mempunyai berat badan berlebihan serta obes.\nProgram intervensi pengurusan berat badan yang dijalankan mengikut persekitaran tempat kerja ini dipilih kerana seorang pekerja dewasa menghabiskan sebanyak satu per tiga daripada waktu sehariannya di tempat kerja.\nProgram Pengurusan Berat Badan Trim & Fit merupakan satu daripada polisi yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet ke Arah Persekitaran Hidup yang Sihat (JKPHS) Bil. 1/2018 pada 1 November 2018, iaitu Mewajibkan Program Pengurusan Berat Badan di Kementerian atau Jabatan Terpilih.\nProgram yang dilaksanakan sejak tahun 2012 di KKM ini telah memberikan manfaat kepada 3780 orang penjawat awam di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur. Berdasarkan rekod, sebanyak 58\u00a0 jabatan atau agensi kerajaan telah menjalankan program ini hingga kini.\nProgram yang dirangka dengan pengisian modul yang diolah dan disesuaikan untuk pelaksanaan di tempat kerja ini merangkumi modifikasi diet, senaman dan motivasi. Selain itu, pelibatan pelbagai profesion seperti pegawai sains (pemakanan), pakar perubatan keluarga, pegawai perubatan, pegawai farmasi, pegawai psikologi dan pegawai pemulihan perubatan (fisioterapi) memberikan impak yang lebih optimum secara holistik.\nPelaksanaan program ini di setiap kementerian atau jabatan merupakan pilihan terbaik dengan sokongan serta khidmat teknikal yang diberikan secara percuma oleh Bahagian Pemakanan, KKM. Pelaksanaannya pasti memberikan impak yang tinggi, bukan sahaja dari segi kesihatan, malah meliputi aspek fizikal, mental, motivasi dan keyakinan diri.\nTurut hadir dalam majllis pelancaran program tersebut ialah Ketua Setiausaha KKM, YBhg. Datuk Harjeet Singh, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, Pengarah Bahagian Pemakanan KKM, YBrs. Puan Zalma Abdul Razak, para pegawai kanan serta wakil kementerian." "KKM Anjur Seminar Pengurusan Bencana\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menganjurkan Seminar Pengurusan Bencana yang membincangkan isu dan langkah penambahbaikan dalam tadbir urus serta pengurusan bencana di fasiliti KKM selain memperkasa kefahaman dan pelaksanaan operasi pengurusan bencana dalam kalangan petugas barisan hadapan.\nSeminar selama dua hari tersebut yang telah dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin dihadiri kira-kira 400 orang yang terdiri daripada pengurusan tertinggi KKM, ketua setiausaha kementerian, ketua pengarah jabatan dan agensi persekutuan, pengarah kesihatan negeri dan hospital, ketua jabatan kecemasan dan trauma, ketua pegawai eksekutif GLC dan ketua pertubuhan bukan kerajaan.\nMenurut YB Khairy Jamaluddin, seminar ini merupakan suatu platform untuk menambah pengetahuan dan kefahaman semua pihak yang terlibat dalam pengurusan bencana mengenai pengoperasian sebelum, semasa dan selepas bencana.\nSaban tahun, kejadian banjir akan sentiasa menjadi bencana utama yang melanda negara dan pada ketika ini, kita juga perlu berwaspada dengan kesan daripada fenomena monsun timur laut.\nBeliau juga menyatakan bahawa pandemik COVID-19 menjadi bukti yang jelas betapa pentingnya untuk setiap individu terus bersedia apabila berlakunya sesuatu bencana.\nSebagai kementerian yang telah dipertanggungjawabkan untuk memberikan perkhidmatan kesihatan kepada mangsa banjir, KKM telah mengambil beberapa langkah awal dengan penempatan sebanyak 11 085 orang anggota kesihatan awam untuk membantu mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara.\nTambah beliau, sebanyak 4263 orang anggota yang terdiri daripada 1820 petugas rapid assessment team (RAT) dan 2443 petugas rapid response team (RRT) juga akan melaksanakan penilaian kepada mangsa atau isu yang melibatkan bencana.\nSelain itu, KKM juga akan menyediakan 462 orang pakar kesihatan dan pasukan kesihatan mental serta sokongan di PPS sebagai persiapan dalam menghadapi banjir kerana mangsa banjir bukan hanya terkesan dari segi fizikal, malah dari segi emosi dan mental.\nDalam majlis yang sama, YB Khairy Jamaluddin turut melancarkan buku An Overview of Disaster Life Support in Disaster Management sebagai rujukan dan panduan kepada pengamal perubatan serta kakitangan agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan yang terlibat dalam pengurusan bencana.\nTurut hadir dalam seminar tersebut ialah Ketua Setiausaha KKM, YBhg. Datuk Harjeet Singh, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), YBhg. Dato\u2019 Ts. Kamel Mohamad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKM, YBhg. Dato\u2019 Zainal Alhakab Seman, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM, YBhg. Dato\u2019\u00a0 Zamzuri Abdul Aziz dan Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Awam) KKM, YBhg. Datuk Dr. Norhayati Rusli." "Sumbangan Teknologi Nuklear dalam Kepelbagaian Bidang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRakyat di Malaysia masih lagi dihantui dengan perkataan nuklear yang sering dikaitkan dengan tragedi bom nuklear yang berlaku di Hiroshima dan Nagasaki. Tragedi tersebut yang meninggalkan kesan kepada ribuan penduduk Jepun sememangnya turut mempengaruhi penduduk di Malaysia yang tegar untuk tidak menerima nuklear dalam kamus hidup mereka. Namun begitu, pendidikan nuklear harus diteruskan kerana kelebihannya kepada manusia lebih banyak jika dibandingkan dengan kekurangannya.\nKebanyakan orang masih keliru dengan istilah teknologi nuklear dan tenaga nuklear. Semasa sesi Debat Nuklear antara Varsiti 2022 yang diadakan pada Jun lalu anjuran Pusat Teknologi Nuklear, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersempena dengan sambutan Minggu Sains Negara 2022, kekeliruan itu jelas dinyatakan dalam sesi perdebatan daripada pelajar institut pengajian tinggi awam. Program yang berlangsung selama tiga hari itu diadakan di UKM dengan tema \u201cNuklear untuk Tujuan Keamanan\u201d.\nTeknologi nuklear merupakan penggunaan teknologi yang melibatkan tindak balas nuklear dalam atom. Berdasarkan maklumat daripada Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (USEPA), tindak balas nuklear boleh menyebabkan sesuatu atom itu menjadi tidak stabil atau radioaktif. Unsur yang tidak stabil ini dinamakan sebagai radionuklid.\nRadionuklid digunakan dalam pelbagai aplikasi disebabkan oleh kelebihannya dalam menghasilkan tenaga semasa proses pereputan berlaku sehingga radionuklid menjadi stabil. Setiap radionuklid menghasilkan tenaga dalam bentuk sinaran. Suatu tempoh masa pereputan dinamakan sebagai separuh hayat.\nAntara contoh sinaran yang dipancarkan termasuklah sinar alfa (\u03b1), sinar beta (\u03b2), sinar gama (\u03b3) dan sinar-X. Sinaran inilah yang dihasilkan oleh sesuatu radionuklid semasa pereputan sekali gus memberikan kesan yang berlainan kepada sistem biologi manusia mengikut jenis sinaran tersebut. Sinaran alfa mempunyai penembusan yang rendah dan mampu dihalang hanya dengan menggunakan sehelai kertas, namun berbahaya sekiranya memasuki sistem badan manusia.\nSinaran beta pula mempunyai penembusan yang lebih daripada sinaran alfa dan berupaya dihalang dengan menggunakan aluminium. Selain itu, sinaran gama adalah yang paling tinggi tahap penembusannya sehingga boleh menembusi badan manusia dan boleh dihalang dengan menggunakan plumbum atau konkrit.\nTeknologi nuklear\u00a0 juga digunakan dalam bidang perubatan, yakni beberapa hospital di Malaysia juga mewujudkan jabatan khas bagi perubatan nuklear dan diagnostik seperti di Institut Kanser Negara, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Pulau Pinang, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia, Hospital Universiti Sains Malaysia, Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah, Hospital Sultanah Aminah, Hospital Umum Sarawak dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz.\nTeknik diagnostik menggunakan radiofarmaseutik atau radiosurihan yang memancarkan sinar gama daripada badan pesakit. Sebagai contohnya, radionuklid Teknetium-99m mempunyai separuh hayat selama enam jam. Secara dasarnya, radiosurihan ini mempunyai separuh hayat yang pendek dan dimasukkan ke dalam badan pesakit dengan menggunakan sebatian kimia yang dibenarkan sama ada melalui suntikan, makan atau minum atau melalui penyedutan. Pakar perubatan akan melihat pancaran sinaran tersebut dengan menggunakan alat pengimejan seperti tomografi berkomputer (CT) atau pengimejan resonans magnet (MRI) yang menunjukkan maklumat molekul dan imej.\nSelain itu, penggunaan radionuklid dalam perubatan nuklear juga melibatkan terapi, yakni radionuklid Iodin-131 digunakan untuk merawat kanser. Hal ini dikatakan demikian kerana sel kanser sangat sensitif terhadap sinaran dan kelebihan itu menyebabkan teknologi ini digunakan kepada pesakit tanpa melibatkan pembedahan fizikal. Pesakit akan terdedah kepada sumber sinaran, namun dalam dos yang rendah dan sentiasa dipantau oleh pegawai perubatan.\nTeknologi nuklear tidak hanya tertumpu pada bidang perubatan tetapi turut digunakan dalam bidang pertanian untuk mengawal serangga. Misalnya, masyarakat di Brazil menghadapi masalah kesihatan yang besar seperti Zika, demam Chikungunya dan denggi yang disebabkan oleh bawaan nyamuk Aedes. Menurut Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), teknik serangga mandul (SIT) adalah satu daripada kaedah pengawalan serangga yang menggunakan sinaran untuk memandulkan serangga jantan. Serangga yang dimandulkan ini akan dibebaskan untuk mengawan dan tidak menghasilkan generasi nyamuk yang seterusnya. Hal ini dapat mengurangkan populasi nyamuk dan mengurangkan kadar jangkitan yang lebih tinggi.\nSeterusnya, pelbagai variasi padi yang ditambah baik dengan menggunakan kaedah biak baka mutasi di negara ini telah dilakukan oleh Agensi Nuklear Malaysia yang menghasilkan benih padi yang lebih rintang kepada cuaca ekstrem seperti benih padi IS21. Kaedah mutasi aruhan dengan menggunakan sinar gama dilakukan untuk menghasilkan benih padi yang lebih baik daripada induknya. Usaha ini dapat membantu petani dan pesawah untuk meningkatkan produktiviti hasil tanaman yang sedia ada.\nMasih lagi berkisar tentang tanaman dan makanan, penyinaran terhadap makanan juga adalah satu daripada cabang teknologi nuklear yang merupakan proses mendedahkan makanan kepada sumber sinar gama bagi mengurangkan pertumbuhan bakteria yang menyebabkan penyakit bawaan makanan serta meningkatkan hayat makanan tersebut. Banyak negara telah mewujudkan peraturan perundangan berkaitan dengan penyinaran terhadap produk makanan termasuklah Malaysia, iaitu Akta Makanan 1983 (Peraturan-peraturan Iradiasi Makanan 2011) bagi membolehkan aplikasi teknologi nuklear memelihara kualiti makanan.\nBerpandukan peraturan yang telah diwartakan, industri makanan boleh mendedahkan produk makanan kepada radionuklid Kobalt-60 atau Sesium-137 yang memancarkan sinar gama dalam had dos tertentu sahaja dan bergantung pada produk. Pengguna juga tidak perlu bimbang kerana makanan yang disinarkan dengan menggunakan sumber gama ini tidak akan menyebabkan makanan tersebut menjadi radioaktif, malah makanan tersebut akan lebih baik disebabkan oleh kualiti makanan yang terpelihara tanpa mikroorganisma dan tahan lebih lama.\nDalam sektor industri, teknologi nuklear banyak digunakan dalam bidang pengauditan peralatan, yakni sumber radioaktif digunakan untuk mengesan ketidakselanjaran dalam sistem saluran seperti air, minyak dan gas. Selain itu, tolok yang mengandungi bahan radioaktif telah banyak digunakan dalam industri bagi mengukur tahap tekanan dan ketumpatan gas, cecair dan pepejal. Hal ini dapat mengelakkan situasi yang sukar untuk pengukuran fizikal dilakukan seperti keadaan bersuhu tinggi atau keadaan yang mengandungi bahan mengakis.\nSementara itu, pentarikhan karbon juga merupakan aplikasi teknologi nuklear yang boleh digunakan untuk menganggarkan umur sesuatu bahan seperti bahan fosil atau artifak yang ditemui oleh ahli geologi dan ahli sejarah. Selain radionuklid Karbon-14, beberapa jenis kaedah yang melibatkan radionuklid Uranium-238, Rubidium-87 dan Potassium-40 juga digunakan dalam teknik pentarikhan radioisotop.\nDalam skop kajian berkaitan dengan alam sekitar, radionuklid\u00a0 digunakan sebagai radiosurihan seperti dalam bidang perubatan untuk mengesan pergerakan bahan pencemar seperti asbut, iaitu campuran kabut dan asap bahan cemar industri yang terbentuk daripada proses fotokimia yang disebabkan oleh tindak balas cahaya matahari dengan oksida sulfur, oksida nitrogen dan beberapa hidrokarbon yang lain. Selain fasa gas, radiosurihan juga sering digunakan dalam analisis bagi fasa cecair seperti air kumbahan dan tumpahan minyak.\nDi samping itu, radionuklid juga digunakan dalam kajian kitaran air bagi mengesan lokasi air bawah tanah yang\u00a0 membantu para pengkaji untuk memulihara bekalan air bawah tanah daripada terjejas oleh pembangunan industri dan seterusnya memantau sebarang pencemaran terhadap sumber tersebut. Bagi sumber air yang berada di permukaan bumi seperti laut, tasik, takungan dan sungai, pelbagai maklumat lain boleh diperoleh dengan menggunakan radiosurihan ini seperti kadar aliran air, kadar pemendakan, pergerakan aliran dan pergerakan bahan pencemar. Bagi takungan tertutup pula, maklumat seperti kebocoran sistem takungan dan saliran juga boleh diketahui.\nTeknologi nuklear juga didapati dalam produk pengguna seperti pengesan asap yang menggunakan Americium-241 dalam kuantiti yang kecil. Radionuklid Americium-241 memancarkan sinar alfa yang mengionkan udara dan membenarkan laluan arus bagi dua elektrod. Sekiranya asap masuk ke dalam sistem pengesan asap tersebut, radionuklid Americium-241 akan menyerap zarah alfa dan mengganggu laluan arus dan akhirnya membunyikan penggera. Walau bagaimanapun, pengguna tidak perlu khuatir kerana pengesan asap ini terbukti selamat untuk digunakan di kediaman tanpa memberikan kesan kesihatan kepada pengguna selagi pengesan tersebut tidak rosak.\nPersatuan Nuklear Dunia juga menyatakan bahawa tenaga nuklear adalah satu daripada contoh kegunaan teknologi nuklear yang sangat diketahui umum. Negara yang telah menggunakan tenaga nuklear ini sedar akan kelebihan aplikasi ini yang menyumbangkan dan menyokong hasrat pengeluaran karbon yang rendah di samping memberikan penjimatan kos tenaga elektrik dalam jangka masa panjang.\nTenaga nuklear adalah penggunaan tindak balas nuklear untuk menghasilkan tenaga elektrik. Secara asasnya, loji jana kuasa memberikan pengeluaran yang sama, iaitu dalam bentuk tenaga elektrik kepada pengguna. Bezanya, loji jana kuasa nuklear menggunakan bahan nuklear seperti Uranium-235 untuk ditukarkan kepada tenaga dengan menggunakan prinsip pembelahan nuklear.\nProses pembelahan nuklear menghasilkan lebih banyak neutron untuk meneruskan proses pembelahan. Proses ini merupakan suatu proses rantai yang terus berlaku jika tidak dikawal. Dalam loji jana kuasa nuklear, proses pembelahan ini dikawal dengan kehadiran unsur lain seperti kadmium, boron dan hafnium yang akan menyerap neutron yang terhasil daripada proses pembelahan.\nOleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa tenaga nuklear adalah sebahagian daripada teknologi nuklear. Penggunaan teknologi nuklear dalam kehidupan manusia sangat luas dan mungkin orang ramai tidak sedar akan kepentingan dan kelebihannya. Berikutan situasi ini, orang ramai digesa untuk lebih bersikap terbuka bagi memanfaatkan teknologi nuklear di Malaysia.\n\u00a0\nDr. Syazwani Mohd Fadzil ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Fizik Gunaan, Universiti Kebangsaan Malaysia." "Teknologi Masa Hadapan dalam Industri Automotif\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerkembangan teknologi dalam era Revolusi Perindustrian 4.0 turut memberikan tempias kepada teknologi kenderaan yang turut berubah dengan sangat pantas. Teknologi yang ketika dahulu hanya terdapat di dalam filem atau drama sains fiksyen seperti Knight Rider, Viper dan Back to the Future, sebahagiannya telah menjadi kenyataan.\nTeknologi kenderaan berautonomi adalah antara teknologi yang cukup popular. Secara umumnya, terdapat enam klasifikasi bagi mengkategorikan sistem kenderaan berautonomi yang diwujudkan oleh Society of Automotive Engineers (SAE).\nTahap sifar merupakan tahap tanpa automasi. Secara umumnya, kenderaan dalam tahap ini merupakan kenderaan yang biasa dilihat di atas jalan raya. Pemandu masih diperlukan untuk semua keadaan atau situasi pemanduan.\nTahap satu pula dipanggil tahap bantuan pemandu. Pada tahap ini, pemandu masih perlu memandu dan hanya satu sistem automasi yang wujud seperti pengawal luncur pada kenderaan tersebut. Banyak kereta moden mempunyai sistem automasi ini.\nTahap dua pula dikenali sebagai tahap separa automasi yang merujuk kenderaan boleh mengawal stereng dan pecutan kenderaan pada keadaan atau situasi tertentu. Pemandu juga boleh mengambil alih kendalian kenderaan daripada sistem automasi pada bila-bila masa. Kereta Tesla Autopilot merupakan contoh kenderaan dalam kategori ini.\nTahap tiga merupakan tahap automasi bersyarat. Pemandu kenderaan pada tahap ini mampu mengawal pemanduan dan kelajuan secara autonomi dalam persekitaran biasa tetapi memerlukan pengawasan. Pemandu boleh atau perlu mengambil alih kendalian kenderaan daripada sistem automasi pada bila-bila masa. Antara contoh kereta dalam kategori ini termasuklah Mercedes Drive Pilot.\nTahap empat pula merupakan kenderaan berautonomi tinggi, namun sistem automasi ini tidak dapat berfungsi pada semua keadaan atau situasi. Kereta Waymo dan Magna MAX4 adalah antara contoh kereta di bawah kategori ini.\nKenderaan yang dikategorikan pada tahap 5 merupakan kenderaan berautonomi penuh, yakni kenderaan tersebut boleh bergerak tanpa memerlukan sebarang bantuan daripada pemandu dan berfungsi pada semua keadaan. Sehingga kini, belum ada kenderaan yang mencapai tahap ini. Namun demikian, hal ini bukanlah perkara yang mustahil memandangkan perkembangan teknologi kenderaan berautonomi berkembang dengan sangat pantas.\nMeskipun teknologi ini tertumpu pada kereta, tidak mungkin kenderaan awam turut menggunakan teknologi ini pada masa akan datang. Namun begitu, masih terdapat sebahagian pengguna yang masih skeptikal dengan teknologi ini disebabkan oleh perasaan kurang yakin dengan keselamatan kereta dan penumpang dengan penggunaan teknologi ini. Hakikatnya, kehadiran teknologi ini dapat memudahkan banyak urusan pemanduan seperti meletakkan kenderaan di tempat letak kereta yang sempit dan pemanduan di kawasan berbukit.\nPenyusutan bekalan bahan bakar fosil dunia bukanlah perkara yang asing lagi. Kenderaan yang pada umumnya bergerak menggunakan petrol dan diesel turut terkesan dengan keadaan ini. Atas dasar ini, banyak penyelidik telah mengorak langkah memikirkan penyelesaian yang sesuai bagi mengatasi masalah kekurangan bahan api fosil. Antara cadangan yang popular pada ketika dahulu termasuklah penggunaan biobahan api seperti biodiesel sebagai ganti kepada petrol atau diesel.\nNamun begitu, cadangan itu tidak diterima ramai. Hal ini mungkin disebabkan oleh bahan api biologi masih memberikan kesan kepada alam sekitar, iaitu pencemaran udara. Hal ini menyebabkan cadangan yang lebih mesra alam sekitar, iaitu penggunaan bateri atau elektrik sebagai ganti kepada bahan bakar fosil diterima baik oleh banyak pihak.\nSecara umumnya, kereta berasaskan bateri selalunya dipanggil dengan kenderaan elektrik (EV), manakala kereta yang menggunakan sistem hidrogen dipanggil kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV). Di Malaysia, bilangan EV sangatlah kecil, namun bilangan kereta hibrid, iaitu kereta yang menggabungkan kuasa bateri dan petrol meningkat dengan ketara. Maka, tidak mustahil jika berlakunya peningkatan bilangan EV secara mendadak dalam masa terdekat.\nFCEV pula tidak mendapat sambutan yang tinggi di serata dunia. Hal ini disebabkan oleh kosnya yang jauh lebih tinggi berbanding dengan EV. Sebagai contohnya, kereta hidrogen Hyundai NEXO adalah 1.7 kali ganda lebih mahal daripada kereta elektrik Hyundai Kona EV.\nNamun begitu, kelebihan FCEV yang mengecas kereta dengan kadar yang jauh lebih cepat daripada EV menjadikan teknologi FCEV masih bertahan dan kajian terhadap FCEV masih berjalan. Jadi, tidak mustahil jika dalam masa beberapa tahun lagi harga FCEV menurun dengan perubahan teknologi yang menyebabkan kos pembuatan FCEV menjadi optimum.\nSistem komunikasi kenderaan atau pemindahan maklumat sesama kenderaan, manusia dan infrastruktur merupakan teknologi yang mendapat perhatian dalam kalangan pembuat kenderaan. Sistem pemindahan maklumat ini terbahagi kepada beberapa jenis perpindahan maklumat seperti daripada kenderaan hubung infrastruktur (V2I) kenderaan hubung rangkaian (V2N), kenderaan hubung kenderaan (V2V), kenderaan hubung pejalan kaki (V2P) dan kenderaan hubung peranti (V2D). Rangkuman sistem ini dikenali dengan istilah sistem kenderaan hubung segalanya (V2X).\nSebagai contohnya, apabila sesebuah kenderaan bergerak dengan laju, data halaju kenderaan tersebut dipindahkan kepada kenderaan lain. Hal ini menyebabkan pelanggaran dapat dielakkan apabila pemandu kenderaan lain mendapat maklumat tersebut dan bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan datang daripada kenderaan yang laju itu.\nPejalan kaki pula boleh menerima maklumat mengenai jarak dan halaju kenderaan, tempoh lampu isyarat dan lain-lain lagi. \u00a0Sistem ini juga membolehkan pejalan kaki dapat mengagak jadual dan masa kehadiran bas serta maklumat lain yang berkaitan dengan sesuatu kenderaan.\nSistem ini turut mempunyai sisi negatifnya yang tersendiri seperti pelanggan terdedah kepada perkongsian maklumat sulit sesama pengguna akibat penggodaman sistem sehingga berlakunya kebocoran maklumat sulit. Selain itu, antara perkara yang perlu diperhatikan termasuklah keperluan infrastruktur tambahan bagi menyokong sistem ini.\nTeknologi realiti terimbuh pula adalah antara teknologi yang dibayangkan akan merevolusikan industri automotif. Dengan teknologi ini, pemandu akan memperoleh maklumat secara tepat dan data masa nyata semasa memandu. Maklumat seperti jalan yang terlalu sempit, kereta yang sangat hampir atau selekoh tajam berada di hadapan akan kelihatan secara nyata di skrin kenderaan.\nNamun begitu, teknologi ini tidak terlepas daripada kritikan. Hal dikatakan demikian kerana paparan tambahan ini mampu menyebabkan pemandu lebih leka semasa memandu dan berpotensi tinggi untuk berlakunya kemalangan.\nTeknologi papar pandu atau head-up display (HUD) pula adalah sistem di di cermin hadapan kereta yang memaparkan pelbagai maklumat. Teknologi ini akan meletakkan segala notifikasi daripada telefon di cermin kereta. Hal ini dapat mengurangkan kelekaan pemandu terhadap telefon. Namun begitu, sesetengah pemandu masih belum selesa dengan paparan notifikasi di cermin yang dianggap mengurangkan ruang pandangan pemandu. HUDWAY Drive merupakan antara syarikat yang terkenal membekalkan teknologi ini kepada kenderaan.\nSisi positif yang terdapat pada teknologi realiti terimbuh dan HUD menyebabkan banyak ramai syarikat dalam industri yang ingin menggabungkan kedua-dua teknologi ini. Sebagai contohnya, syarikat Panasonic Automotive membangunkan teknologi HUD realiti terimbuh dan hasil yang terpapar di cermin kelihatan lebih baik dan hampir pada keadaan sebenar.\nTeknologi seterusnya ialah teknologi kereta terbang. Teknologi ini sebenarnya sudah lama dibangunkan. Meskipun peralihan teknologi ini kelihatannya mudah dan dilihat sebagai hanya perlu memindahkan teknologi daripada kapal terbang kepada sebuah kereta, namun hakikatnya teknologi kereta terbang dilihat mencabar untuk dihasilkan dengan baik. Hal ini disebabkan oleh pelbagai isu keselamatan seperti kegagalan sistem mekanikal dan elektronik pada kereta antara faktor besar yang menjadi halangan kepada perkembangan teknologi ini.\nNamun begitu, faktor utama yang menjadi penghalang kepada perkembangan kereta terbang ini secara umumnya adalah disebabkan oleh sistem perundangan sesebuah negara. Hal dikatakan demikian kerana dengan wujudnya teknologi kereta terbang, risiko pencerobohan sempadan negara, pencemaran bunyi dan pertindanan dengan sistem penerbangan yang sedia ada boleh berlaku.\nWalau bagaimanapun, teknologi ini bukanlah perkara yang mustahil. Sebagai contohnya, syarikat dari Slovakia berjaya mencipta kereta terbang yang \u00a0yang dinamakan Klein Vision AirCar yang menggunakan enjin petrol dan kapasiti enjin 1.6 liter dengan sayap yang boleh disorokkan di dalam badan kereta. Namun begitu, kereta terbang ini menyerupai kapal terbang kerana masih memerlukan landasan untuk berlepas, tidak seperti helikopter yang boleh berlepas secara menegak.\nAntara teknologi lain yang dibangunkan untuk sesebuah kenderaan termasuklah:\nSecara keseluruhannya, pelbagai teknologi akan dibangunkan untuk kenderaan atau kereta secara khusus. Terdapat kemungkinan pada masa hadapan, semua teknologi ini dapat digabungkan dan kita mampu melihat sebuah kereta terbang tanpa pemandu dan mampu berkomunikasi dengan kenderaan lain dengan sangat efisien.\nNamun begitu, jika difikirkan kewajarannya, seekor burung merupakan makhluk ciptaan Tuhan Yang Maha Esa mempunyai gabungan teknologi seperti di atas. Hebat, bukan?" "Perlu Pendirian Positif Kerajaan yang Memimpin terhadap Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Beberapa perkara penting berkaitan dengan kebahasaan telah dibincangkan dan dicapai persetujuan bersama dalam satu pertemuan yang telah diadakan di Dewan Tun Perak, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur menerusi Sidang Meja Bulat Pemartabatan Bahasa Melayu pada pukul 11.30 pagi tadi.\nYB Senator Tan Sri Dato\u2019 Seri Utama Dr. Rais Yatim, iaitu Yang di-Pertua Dewan Negara telah mempengerusikan Sidang Meja Bulat Pemartabatan Bahasa Melayu tersebut yang turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, selaku Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran (Ketua Pengarah DBP), wakil GAPENA, wakil daripada 35 badan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa orang pakar bahasa yang lain.\nSidang meja bulat ini diadakan untuk membincangkan pelbagai usaha untuk mengangkat martabat bahasa Melayu seperti yang disarankan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob.\nBeberapa usaha perlu dilakukan untuk memajukan bahasa Melayu dan melonjakkannya ke hadapan seperti bahasa Inggeris pada masa ini. Untuk merealisasikannya, kerajaan yang memimpin harus mempunyai pendirian yang positif terhadap bahasa Melayu dan tidak teragak-agak dalam urusan rasmi yang berkaitan dengan kenegaraan dan kebahasaan.\nBahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lingua franca mesti dipandang serius termasuklah dalam kalangan pemimpin, para menteri, dan juga pegawai-pegawai tinggi kerajaan. Mereka perlu mulai berdamping dengan bahasa Melayu, iaitu dengan menguasai bahasa Melayu secara lisan termasuklah dalam mesyuarat dan sebagainya.\nMenurut YB Senator Tan Sri Dato\u2019 Seri Utama Dr. Rais Yatim, ada pandangan untuk menjadikan DBP sebagai kuasa induk bagi perkembangan dan kemajuan bahasa Melayu dalam semua aspek tanpa mengira apa-apa latar belakang asalkan perundangan yang disyorkan untuk dipinda kepada pihak berkuasa diteruskan sehingga ke Jabatan Peguam Negara.\nSelain itu, tambahnya lagi, DBP juga perlu diberi kuasa untuk menjadi penguat kuasa, pembimbing dan pihak yang mengawasi kemajuan bahasa Melayu. Hal ini bererti bahawa standard bahasa Melayu sebagai bahasa lisan di universiti dan di sekolah yang tidak begitu mendapat perhatian sebelum ini perlu dilonjakkan capaiannya.\n\u00a0\nSelain itu, para diplomat Malaysia juga perlu mahir dalam berbahasa Melayu dan perlu diberikan latihan. Sehubungan dengan itu, DBP harus diberi kuasa untuk melatih mereka bertutur dan mengolah bahasa Melayu dari segi praktikalnya. Dalam hal ini, DBP perlu diberi kuasa tertinggi dalam naungan kuasa yang tertinggi termasuklah dengan memohon kepada YAB Perdana Menteri agar mengesyorkan DBP kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai \u201cpayung besar\u201d dalam aspek kebahasaan bagi mengangkat martabat bahasa Melayu di Malaysia.\nDalam usaha melaksanakan pindaan undang-undang DBP, undang-undang bahasa kebangsaan perlu diteliti supaya pengubahsuaiannya dapat dilakukan. Perkataan berhubung dengan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka juga perlu diletakkan di bawah \u201croh\u201c bahasa Melayu dalam pindaan yang teratas sekali supaya dapat dijadikan sebagai \u201cpayung\u201d keperluan yang paling utama.\nSelain itu, urusan yang berkaitan dengan bahasa Melayu di bank dan bidang perkapalan juga mestilah jelas dilaksanakan. Yang penting, penggunaan bahasa Inggeris yang kononnya sebagai bahasa rasmi dalam bidang ini mestilah dihentikan dan bahasa Melayu perlu dijadikan sebagai bahasa rasminya.\nMenurut beliau, bahasa Melayu di peringkat domestik juga perlu diperkemas sebelum dibawa ke peringkat luar negara. Pembelajaran bahasa Melayu secara mendalam menerusi bidang sastera dan budaya juga perlu terus dilaksanakan di beberapa universiti ulung di luar negara termasuklah di Frankfurt, Tokyo, China dan sebagainya.\nKursi-kursi bahasa Melayu yang ada perlu diisi dengan segera supaya Malaysia dapat bersama dengan Indonesia bergerak maju ke hadapan. Jangan menjadikan bahasa Melayu dengan bahasa Indonesia itu sebagai satu konflik tetapi jadikannya sebagai dwibahasa yang saling melengkapi yang boleh kita kaji bersama untuk kemajuan serantau." "Penubuhan NSSC Menyokong Operasi Pengesanan dan Tindak Balas Sekuriti Nuklear\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Penubuhan Pusat Sokongan Sekuriti Nuklear (NSSC) dengan inisiatif Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) membolehkan Malaysia membangunkan keupayaan dalaman melibatkan penggunaan, ujian penerimaan dan penyelenggaraan peralatan pengesanan sinaran bagi menyokong operasi pengesanan dan tindak balas sekuriti nuklear dengan kos efektif yang mampan.\nBerikutan pencapaian ini, kerajaan Malaysia melalui Jabatan Tenaga Atom, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menandatangani Partnership Agreement on the Establishment of a Loaner Pool for Radiation Detection Equipment (Loaner Pool) dengan IAEA secara dalam talian pada September tahun lalu.\nBerdasarkan inisiatif Loaner Pool ini, Malaysia menerima penempatan dan menguruskan peralatan pengesanan sinaran berjumlah RM3 078 634 yang digunakan untuk aktiviti keselamatan dan sekuriti nuklear di dalam negara serta bertujuan untuk pembangunan keupayaan jika peralatan tersebut tidak digunakan oleh mana-mana negara anggota IAEA dan digunakan untuk perkongsian amalan terbaik dengan pihak berkepentingan sama ada di dalam negara atau pada peringkat antarabangsa.\nMenerusi siaran media yang dikeluarkan oleh MOSTI semalam, Malaysia berbangga dapat bekerjasama dengan IAEA melalui inisiatif ini dalam memastikan sekuriti nuklear secara global semasa Kejohanan Piala Dunia FIFA Qatar 2022 di Doha yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Peralatan yang diuruskan di bawah Loaner Pool Malaysia ini akan digunakan semasa acara besar dunia ini.\nAcara awam besar di Malaysia seperti Sambutan Hari Kebangsaan, Sukan Asia Tenggara (SEA), Sukan Para ASEAN dan Sukan Malaysia (SUKMA) sebelum ini juga menggunakan peralatan yang serupa bagi melaksanakan langkah sekuriti nuklear.\nSemalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba telah mengadakan pertemuan dengan lapan orang pakar daripada IAEA yang turut dihadiri oleh wakil daripada Jabatan Tenaga Atom, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia, semalam.\nSementara itu, Misi Pakar Perkhidmatan Sekuriti Nuklear Antarabangsa (INSServ) yang dihadiri oleh pakar luar jemputan IAEA daripada Amerika Syarikat, Pakistan, Perancis, Sepanyol, United Kingdom dan Vietnam bermatlamat untuk membantu Malaysia dalam mengenal pasti ruang untuk penambahbaikan bagi melaksanakan regim kawalan sekuriti nuklear secara berkesan dan lestari yang memfokuskan kaedah pencegahan serta pengesanan kejadian sekuriti nuklear yang boleh mengancam keselamatan negara." "MARDI Lancar Lima Produk Inovasi Pacu Ekosistem Agromakanan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSerdang \u2013 Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melancarkan lima produk inovasi terbaharu yang sedia dikomersialkan dalam usaha memajukan industri agromakanan negara bersempena dengan Hari Inovasi MARDI 2022 yang dilancarkan, semalam.\nLima produk tersebut ialah kit diagnostik penyakit padi FlocTest, formulasi nanobakterisidal XanthoZIDE, Bar Enduran Pembebasan Tenaga Berkala, Kandi Tenaga dan Teknologi Minuman Pemulihan Sukan.\nTimbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, YB Datuk Seri Haji Ahmad Hamzah yang menyempurnakan majlis perasmian Hari Inovasi MARDI 2022 dan pelancaran produk tersebut menyatakan bahawa inovasi melalui pendekatan moden dan pertanian pintar merupakan pengubah utama dalam mentransformasikan sektor agromakanan negara.\nHari Inovasi MARDI yang diadakan pada setiap tahun membuktikan komitmen berterusan pihak pengurusan institut bagi menyemaikan serta memperkasa budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan warga kerja MARDI.\nTambah beliau, inovasi yang dihasilkan oleh MARDI diharapkan dapat menyumbang kepada pengukuran pencapaian matlamat peringkat nasional seperti Tahap Sara Diri (SSL), Nisbah Kebergantungan Import (IDR), Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).\nHari Inovasi MARDI 2022 bertemakan \u201cMemperkasa Sekuriti Makanan\u201d bertepatan dengan agenda Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam usaha memperkukuhkan sekuriti bekalan makanan negara yang berhadapan dengan krisis pengeluaran makanan, import dan eksport di dalam negara dan di luar negara akibat pemulihan pasca COVID-19, peperangan di\u00a0 luar\u00a0negara dan sebagainya." "Lampu Isyarat Kenderaan Bukan Sekadar Aksesori Estetik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPastinya setiap pengguna jalan raya berpengalaman dipintas oleh kenderaan lain secara tiba-tiba tanpa penggunaan isyarat membelok. Walaupun pada kebanyakan masa, pengguna jalan raya yang tidak memberikan isyarat membelok dianggap sebagai gangguan kecil, namun keadaan ini boleh menjadi serius dalam beberapa kes. Bahkan, kegagalan menggunakan isyarat membelok adalah antara punca utama kemalangan jalan raya\u00a0di serata dunia, terutamanya melibatkan kenderaan seperti kereta dan motosikal.\nLampu isyarat kenderaan adalah satu daripada fungsi keselamatan yang penting semasa pemanduan. Selain menunjukkan nyahpecutan dan perubahan arah kenderaan, lampu isyarat juga menjadikan kenderaan itu dapat dilihat dengan lebih jelas oleh pengguna jalan raya lain sewaktu cuaca gelap atau jarak penglihatan pemandu lemah.\nSistem pencahayaan kenderaan bermotor terdiri daripada peranti pencahayaan. Isyarat yang dipasang pada kenderaan kebiasaannya disepadukan pada bahagian hadapan, belakang, sisi dan dalam kenderaan, malah dalam beberapa kes, terdapat juga sistem pencahayaan dipasang pada bahagian atas kenderaan bermotor.\nSelain itu, lampu isyarat kenderaan memainkan peranan menerangi jalan di hadapan kenderaan untuk memudahkan pemandu melihat jalan dan kenderaan lain. Lampu isyarat kenderaan juga membolehkan pemandu dan pejalan kaki lain melihat kehadiran, kedudukan, saiz kenderaan dan arah perjalanan serta niat pemandu kenderaan. Oleh sebab itu, kenderaan kecemasan seperti ambulans biasanya mempunyai peralatan pencahayaan tersendiri untuk memberikan amaran kepada pemandu lain dan menunjukkan keutamaan pergerakan dalam lalu lintas.\nCara mudah untuk mengelakkan kemalangan di jalan raya adalah dengan menggunakan isyarat membelok. Pemandu kenderaan perlu menggunakan isyarat membelok sekiranya terdapat kehadiran pengguna jalan raya lain seperti kenderaan, penunggang basikal atau pejalan kaki. Pemandu kenderaan juga perlu menggunakannya pada masa yang sesuai bagi membolehkan pengguna jalan raya lain mempunyai masa untuk bertindak balas dan menyesuaikan diri dengan lampu isyarat yang diberikan.\nBerdasarkan kajian, pemandu kenderaan disarankan untuk menggunakan isyarat membelok sekitar 275 meter sebelum meninggalkan lebuh raya. Apabila membelok di kawasan perumahan pula, pemandu harus memberikan isyarat membelok sekitar 30 meter sebelum membelok ke kawasan yang dituju. Situasi ini hanya akan berubah jika terdapat belokan lain di antaranya. Setelah pemandu selesai membelok, pastikan isyarat membelok ini dibatalkan bagi mengelakkan pengguna jalan raya lain keliru. Kadangkala, kemalangan jalan raya berpunca daripada pemandu yang membiarkan isyarat membelok kenderaan dihidupkan dalam tempoh masa yang panjang.\nSebagai contohnya, jika seseorang pemandu itu sedang menunggu masa yang sesuai untuk keluar daripada simpang jalan, pemandu tersebut mungkin melihat kenderaan yang memberikan isyarat membelok menghala ke arah jalan yang ingin dibelok, walhal isyarat tersebut ialah isyarat yang diberikan untuk keluar dari selekoh sebelumnya. Pemandu yang menunggu untuk keluar daripada simpang itu mungkin salah menilai isyarat membelok tersebut dan memandu keluar di hadapan kereta yang dipercayai akan membelok. Keadaan tersebut akhirnya menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya antara kedua-kedua kenderaan tersebut. Seperti yang boleh diandaikan, kemalangan seumpama itu boleh dielakkan jika pemandu mematikan isyarat membelok.\nIsyarat membelok adalah penting untuk pemandu kenderaan mematuhi peraturan di jalan raya. Banyak pemandu yang mengambil mudah tentang hal ini. Selain penting untuk memberitahu pemandu arah yang ingin dituju, isyarat membelok membolehkan pengguna jalan raya lain menentukan perkara yang perlu dilakukan atau tindakan yang perlu diambil berkaitan dengan kenderaan lain di jalan raya. Isyarat membelok merupakan satu-satunya peramal hala tuju sesebuah kenderaan.\nDi samping itu, penggunaan isyarat membelok adalah amat penting untuk mengelakkan berlakunya kemalangan, terutamanya di lebuh raya. Hal ini dikatakan demikian kerana kereta bergerak pada halaju yang pantas dan berpotensi menyebabkan kemalangan yang serius sekiranya penggunaan isyarat membelok diabaikan. Kajian yang dijalankan oleh Persatuan Jurutera Automotif (SAE) di Amerika Syarikat mendapati bahawa pengabaian isyarat membelok menyebabkan berjuta-juta kemalangan jalan raya berlaku pada setiap tahun disebabkan oleh pemanduan yang terganggu.\nKajian ini juga mendapati bahawa daripada 12 000 kenderaan yang menukar lorong dan membelok, 25 peratus pemandu mengabaikan pemberian isyarat kenderaan semasa membelok, manakala 48 peratus pemandu mengabaikannya apabila menukar lorong. Berdasarkan peratusan ini, secara keseluruhannya, sebanyak 750 bilion pemandu di Amerika Syarikat mengabaikan isyarat membelok pada setiap tahun atau lebih daripada dua bilion kejadian pada setiap hari.\nDi samping itu, kajian tersebut menganggarkan bahawa kira-kira dua juta kemalangan jalan raya dalam tempoh setahun adalah berpunca daripada isu pengabaian penggunaan lampu isyarat membelok. Sebagai perbandingan, Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat\u00a0 menganggarkan bahawa kira-kira 950 000 kemalangan jalan raya adalah akibat pemanduan yang terganggu seperti memandu sambil menghantar mesej, bercakap di telefon, makan atau bersolek.\nDi Malaysia pula, kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia mendapati bahawa sebanyak 58.9 peratus penunggang motosikal mengabaikan isyarat membelok. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 56.5 peratus mengabaikannya semasa membelok di persimpangan, manakala 60.9 peratus tidak menggunakannya semasa menukar lorong. Dapatan kajian ini amat merisaukan kerana penunggang motosikal sentiasa terdedah kepada risiko kecederaan dan kematian yang lebih tinggi di jalan raya. Tambahan pula, lebih kurang 6000 kematian akibat kemalangan jalan raya telah didaftarkan pada setiap tahun dengan 60 peratus daripadanya terdiri daripada penunggang motosikal.\nDalam kajian lain di Amerika Syarikat, sebanyak 57 peratus pemandu kenderaan mengakui bahawa mereka tidak menggunakan isyarat membelok. Antara punca tindakan ini dilakukan termasuklah tidak mempunyai masa yang mencukupi (42 peratus), malas (23 peratus), terlupa untuk mematikannya (17 peratus), menukar lorong dengan terlalu kerap (12 peratus), beranggapan bahawa memberikan isyarat membelok itu tidak penting (11 peratus), pemandu lain tidak melakukannya (8 peratus) dan menambahkan keseronokan dalam pemanduan (7 peratus).\nDalam situasi lain, sekiranya sesuatu kenderaan diekori rapat oleh kenderaan lain, risiko berlakunya kemalangan adalah tinggi sekiranya pemandu yang mahu menukar lorong tidak memberikan isyarat membelok . Hal ini disebabkan oleh pemandu kenderaan di belakang tidak mengetahui bahawa mereka harus menyediakan ruang untuk membenarkan kereta tersebut untuk memasuki laluan yang dikehendaki. Pergeselan antara kenderaan juga biasanya berlaku dalam situasi ini disebabkan oleh jarak antara kenderaan yang terlalu dekat.\nKemalangan antara kenderaan sudah cukup teruk dan mengerikan. Namun demikian, apabila pemandu gagal memberikan isyarat membelok ketika membelok ke arah laluan pejalan kaki, kecederaan yang dialami adalah lebih teruk lagi.\u00a0Kemalangan dan kecederaan kepada pejalan kaki yang disebabkan oleh pemandu yang tidak memberikan isyarat membelok paling kerap berlaku di persimpangan jalan dan lintasan pejalan kaki.\nPejalan kaki yang hendak menyeberang jalan misalnya, mungkin telah mengamalkan semua langkah keselamatan seperti melihat ke kiri atau ke kanan sebelum melintas dan mematuhi lampu isyarat pejalan kaki. Namun begitu, jika kenderaan memasuki laluan pejalan kaki tanpa memberikan sebarang isyarat, pejalan kaki berkemungkinan akan mengalami cedera parah akibat kemalangan. \nAntara kecederaan yang biasa dialami oleh pejalan kaki yang dilanggar oleh kenderaan termasuklah patah tulang, kecederaan otak traumatik serta kecederaan tulang belakang. Patah pada bahagian kaki atau pinggul merupakan kecederaan yang biasa dialami oleh pejalan kaki. Pemandu dan penumpang kenderaan sekurang-kurangnya dilindungi oleh badan kenderaan tetapi pejalan kaki tidak mempunyai pelindung yang melindungi mereka jika dilanggar. Oleh itu, sifat bertimbang rasa perlu wujud di dalam diri pemandu kenderaan bermotor bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku.\nSementara itu, isyarat membelok adalah satu daripada peranti pencegahan kemalangan automotif yang relevan selain peranti komunikasi antara pemandu yang ringkas tetapi berkesan. Namun begitu, pernyataan ini adalah benar apabila isyarat membelok digunakan dengan tepat seperti yang dikehendaki oleh undang-undang jalan raya.\nIsyarat membelok tidak lagi boleh dianggap sebagai pilihan atau\u00a0aksesori estetik semata-mata. Pada masa ini, semua pemandu mempunyai kewajipan untuk menggunakan isyarat membelok.\u00a0Keadaan ini adalah sama seperti kewajipan pemandu untuk berhenti pada tanda berhenti ataupun ketika lampu isyarat bertukar warna merah. Amalan pemanduan yang selamat dapat mengelakkan kemalangan sekali gus menghindarkan diri daripada membayar ganti rugi kerosakan pada kenderaan dan risiko kecederaan fizikal.\nDr. Suzielah Rahmad, mantan pelajar doktor falsafah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Profesor Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff, pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, UKM." "UiTM Cawangan Perlis Pergiat Usaha Memartabatkan Bahasa Melayu dengan Kerjasama DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cInstitusi pendidikan merupakan gedung ilmu dan kerjasama dengan pihak penggiat industri seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku badan utama pengembangan bahasa kebangsaan di negara ini amatlah diperlukan untuk memberikan nilai tambah yang berkualiti kepada pelajar di samping meningkatkan penghayatan kecintaan mereka terhadap bahasa Melayu,\u201d ujar Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd. Fauzi.\nBeliau berkata demikian dalam kunjungan rasmi beliau ke DBP bagi membincangkan potensi kerjasama antara DBP dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis di Menara DBP petang tadi. Turut hadir bersama-sama beliau ialah Koordinator Unit Komunikasi Korporat UiTM Cawangan Perlis, Puan Eliy Nazira Mat Nazir.\nMenurut Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, DBP mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuklah institusi pengajian tinggi yang mendukung usaha berkaitan dengan pemartabatan Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.\nDBP sentiasa memberikan ruang dan peluang kepada mana-mana pihak yang berminat untuk mengadakan program yang bersangkutan dengan pembudayaan dan pengembangan bahasa, sastera dan penerbitan yang memberikan manfaat kepada masyarakat dan negara.\nProfesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd. Fauzi yang juga merangkap Ahli Lembaga Pengelola DBP juga berkesempatan mengadakan pembentangan berkaitan dengan fungsi dan tanggungjawab UiTM Perlis serta pelaksanaan pelbagai program yang telah diadakan di kampus tersebut.\nMenerusi perbincangan yang diadakan selama dua jam itu, beberapa bentuk kerjasama strategik antara DBP dengan UiTM Cawangan Perlis telah dikenal pasti yang merangkumi pelaksanaan aspek kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan yang berbentuk pendidikan, pelibatan bersama-sama komuniti dan pembangunan program kemahasiswaan.\nSelain itu, DBP menawarkan peluang kerjasama dalam aspek penerbitan bahan ilmiah dalam bahasa Melayu yang boleh diteroka oleh kumpulan pensyarah UiTM Cawangan Perlis.\n\u201cDBP sebagai badan penerbit terulung di Malaysia membuka peluang kepada penulis yang berminat untuk menerbitkan bahan penyelidikan berkualiti dalam bentuk buku yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat umum,\u201d jelas Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran dalam pertemuan tersebut.\nSebagai usaha untuk merealisasikan hasrat tersebut, DBP mengusulkan agar\u00a0 Memorandum Persefahaman antara DBP dengan UiTM Cawangan Perlis dirangka yang merangkumi kerjasama dalam pelbagai aspek seperti anjuran program, penerbitan, dan perkongsian maklumat yang mampu memberikan impak kepada DBP dan UiTM Cawangan Perlis untuk jangka masa panjang.\nAntara yang hadir dalam kunjungan rasmi ini termasuklah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato\u2019 Paduka Mohamed; Ketua Editor Bahagian Buku Umum, Encik M Azahari Edin; Ketua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani Omar; Ketua Editor Bahagian Multimedia, Puan Naimah Yusof; Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Encik Sharrul Rizal Hashim dan beberapa staf DBP." "Pertandingan Teater STEM Menyemarakkan Minat Anak Muda terhadap Bidang STEM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dalam usaha menyemarakkan lagi minat anak muda terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), Persatuan STEM Kebangsaan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Pertandingan Teater STEM. Pertandingan ini telah dijalankan sejak berbulan-bulan lamanya di seluruh negara sehinggalah peringkat akhir pertandingan yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, semalam.\nMajlis penutupan Pertandingan Teater STEM telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola, DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan. Menurut beliau, pertandingan ini merupakan program yang cukup luar biasa kerana umum beranggapan bahawa sastera adalah terpisah daripada sains dan teknologi. Namun begitu, pertandingan ini telah membuktikan hal yang sebaliknya.\nSebenarnya, paduan antara kedua-dua bidang ini telah wujud sejak zaman Yunani lagi. Ahli falsafah pada zaman tersebut seperti Socrates, Plato dan Aristotle telah memadukan kedua-dua bidang tersebut dengan cukup rapi. Bahkan, kebanyakan tamadun juga tidak memisahkan kedua-kedua bidang tersebut. Tokoh tamadun Islam, Al-Farabi yang terkenal sebagai saintis juga merupakan seorang ahli muzik.\nTambah beliau, diharapkan usaha ini merupakan titik permulaan bagi Persatuan STEM Kebangsaan untuk menyatukan semula kedua-kedua bidang yang dianggap terpisah hingga terbahagi kepada dua, iaitu kelompok sains dan kelompok sastera.\nWalau bagaimanapun, segala usaha tidaklah sampai menolak kepada pengkhususan tetapi mengharapkan agar pengkhususan tersebut tidaklah sehingga mengetepikan bidang lain.\nBagi beliau, orang sastera juga perlu menguasai ilmu sains agar mereka mampu menggarapnya dalam karya masing-masing. Di Malaysia, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, YBhg. Dato\u2019 Seri Ir. Dr. Zaini Ujang adalah antara contoh tokoh sains yang rancak menghasilkan puisi bertemakan alam sekitar.\nBeliau juga mencadangkan agar Bahagian Multimedia, DBP untuk memadatkan program yang dijalankan untuk dijadikan sebagai satu bahan dan seterusnya diberikan kepada institusi pengajian tinggi dan sekolah dalam usaha memperkenalkan genre teater STEM.\nSeterusnya, Pengerusi Persatuan STEM Kebangsaan, YBhg. Profesor Dato\u2019 Dr. Noraini Idris pula menyatakan bahawa pihak DBP sentiasa memberikan sokongan kepada Persatuan STEM Kebangsaan untuk menganjurkan pelbagai program yang boleh menyemarakkan minat anak muda terhadap bidang STEM. Pelbagai aktiviti telah pun dilaksanakan termasuklah lakonan dan deklamasi sajak yang dilihat menyemarakkan lagi pembelajaran STEM melalui kaedah yang menyeronokkan.\nDiharapkan masyarakat, terutamanya generasi muda menggunakan terminologi sains dalam perbualan seharian sebagaimana yang dipersembahkan dalam pementasan teater STEM ini.\nMengakhiri ucapan, beliau mengucapkan tahniah kepada semua pasukan yang terlibat dalam pertandingan ini kerana sangat kreatif dan menunjukkan konsep STEM dengan berkesan menggunakan bahasa Melayu.\nMajlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan. Kumpulan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari, Selangor telah dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Teater STEM yang julung-julung kalinya diadakan. Naib johan pula disandang oleh kumpulan dari Maktab Mahmud Yan, Kedah, manakala SMK Alor Pasir, Kelantan telah memenangi tempat ketiga. Tiga hadiah sagu hati pula dirangkul oleh kumpulan dari SMK Seri Garing Selangor, SMK Rantau Panjang, Selangor dan SMK Banting, Selangor." "Forum Teater STEM Mengembangkan Ilmu Sains\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebuah forum yang dipersembahkan melalui teater yang berjudul Penerbangan Aladdin Imaginasi dalam Realiti telah diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), semalam. Forum ini turut disiarkan secara langsung menerusi media sosial DBP.\nForum ini menampilkan Pengasas Q Aerotech Ent, Encik Mohd Noor Afiq Azahari, Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains Universiti Malaya, YBrs. Dr. Mohd Istajib Mokhtar dan Pegawai Eksekutif Mission Aviation Training Academy, Encik Mohd Yuzer Mohd Yusof.\nSlot pembukaan forum ini cukup menarik kerana penonton yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar sekolah dikehendaki menulis nama dan sekolah mereka pada kapal terbang kertas masing-masing dan perlu menerbangkan kapal terbang kertas tersebut ke dalam sebuah bagasi. Peserta yang berjaya memasukkan kapal terbang kertasnya ke dalam bagasi itu akan diberikan hadiah.\nSeterusnya, pengacara membuka kisah tentang Aladdin. Teater ini diteruskan lagi dengan pemilihan watak Aladdin dalam kalangan penonton. Pemilihan watak Aladdin dipilih melalui ketepatan calon menjawab kuiz berkaitan dengan sains seperti bahagian yang terdapat dalam kapal terbang, jenis respirasi sel dan definisi sains.\nDalam forum ini, Encik Mohd Yuzer Mohd Yusof menekankan kepentingan kompetensi dalam penerbangan. Selepas selesai sesi penerangan berkenaan kompetensi dalam penerbangan, Encik Mohd Noor Afiq Azahari menunjukkan demonstrasi pengawalan kapal terbang kepada watak dalam teater Aladdin ini. Beliau turut menerangkan kepentingan pengawalan yang betul bagi memastikan keselamatan setiap penumpang dalam penerbangan.\nForum ini diserikan lagi dengan deklamasi sajak yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Mohd Istajib Mokhtar. Usai persembahan sajak ini selesai, babak \u201cAladdin Airlines\u201d yang dilakonkan memberikan gambaran tentang penerbangan yang memenuhi prosedur penerbangan. Pertunjukan dron buatan sendiri telah diadakan di dalam dewan sebelum berakhirnya sesi Forum Teater STEM." "Perkhidmatan Perpustakaan Digital Memacu Perpustakaan UiTM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerpustakaan merupakan pusat pengumpulan dan penyebaran maklumat yang telah beroperasi sejak sekian lamanya. Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi mengangkat martabat ilmu melalui perpustakaan untuk memenuhi fungsi asasnya sebagai pusat perkongsian sumber maklumat yang sahih dan memiliki kredibiliti yang tinggi. Usaha ini jelas berpaksikan kepada agenda mengarusperdanakan pembelajaran sepanjang hayat, terutamanya dalam kalangan mahasiswa.\nSejak tertubuhnya perpustakaan akademik pertama di Pakistan sekitar tiga ribu tahun lalu, fungsi perpustakaan telah memberikan manfaat yang sangat besar terhadap jutaan pengguna di seluruh dunia. Dewasa ini, kemajuan teknologi dan pembangunan aplikasi pintar telah mencipta medium baharu perkongsian sumber maklumat dan tempoh masa untuk memperoleh maklumat juga semakin pantas.\nKonsep perkhidmatan diperibadikan (personalized services) telah menjadi tarikan baharu dalam kalangan penyedia perkhidmatan moden. Perkhidmatan ini menyediakan pengalaman pelanggan yang disesuaikan dengan keperluan dan pilihan individu. Dalam hal ini, perkhidmatan perpustakaan yang berpotensi menjadi pilihan pengguna masa kini adalah tidak terkecuali bagi memenuhi keperluan orang ramai bagi mendapatkan maklumat yang tepat, pantas dan terkini.\nMenyedari keperluan semasa ini, Perpustakaan Digital Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah membangunkan aplikasi mudah alih dan portal perpustakaan yang dikenali sebagai Mobile [email\u00a0protected] dan portal My Knowledge Management (MyKM). Kedua-dua perkhidmatan digital ini menawarkan perkhidmatan perpustakaan secara peribadi dengan pengaksesan di seluruh dunia pada bila-bila masa, khususnya buat pengguna perpustakaan di UiTM.\nAntara kelebihan utama aplikasi Mobile [email\u00a0protected] ini ialah ketercapaian terhadap perkhidmatan dan koleksi perpustakaan secara mudah, pantas dan tanpa melibatkan kos. Mobile [email\u00a0protected] boleh diperoleh dengan mudah, iaitu dengan memuat turun aplikasi tersebut daripada laman web Perpustakaan Digital UiTM.\nAplikasi Mobile [email\u00a0protected] menawarkan maklumat tentang perpustakaan yang perlu diketahui oleh pengguna, khususnya mahasiswa sepanjang tempoh pengajian mereka di universiti. Aplikasi ini dibangunkan dengan cukup ringkas, padat dan interaktif yang bersesuaian dengan gaya hidup pada masa ini. Kepelbagaian akses terhadap perkhidmatan dan koleksi perpustakaan ini juga mampu melonjakkan prestasi penggunaan perpustakaan.\nAplikasi Mobile [email\u00a0protected] turut menawarkan menu pencarian maklumat sehenti. Umum mengetahui bahawa perpustakaan mempunyai pelbagai koleksi maklumat seperti e-buku, buku audio, e-artikel, e-jurnal, peta digital, e-tesis dan e-persidangan. Bahkan, kepelbagaian bentuk maklumat elektronik ini turut tersedia dalam bentuk bercetak.\nMenerusi menu pencarian maklumat sehenti yang terdapat dalam aplikasi tersebut, kesemua bentuk maklumat ini telah diintegrasikan bagi memudahkan pemilihan maklumat penuntut, terutamanya dalam aktiviti penyelidikan. Selain itu, maklumat judul pilihan juga akan disimpan bagi memudahkan pengesanan maklumat tersebut pada bila-bila masa.\nRekod pengenalan diri sebagai mahasiswa universiti turut disimpan dalam aplikasi Mobile [email\u00a0protected]. Kemudahan ini bertepatan dengan konsep perkongsian sumber antara perpustakaan di bawah seliaan Perpustakaan Negara Malaysia yang telah membenarkan akses sumber maklumat dilakukan oleh mahasiswa universiti melalui mana-mana perpustakaan akademik di seluruh Malaysia. Dengan hanya mempamerkan pengenalan diri sebagai mahasiswa universiti, ketercapaian terhadap sumber maklumat yang amat luas dan pelbagai telah tersedia.\nSelain itu, Portal MyKM ialah medium perkhidmatan secara peribadi dalam Perpustakaan Digital UiTM. Antara kelebihan utama portal MyKM ini termasuklah penyediaan maklumat secara terperinci dan disusun berdasarkan bidang pengajian mahasiswa. Dalam hal ini, mahasiswa hanya perlu klik masuk ke portal MyKM dan judul terkini koleksi perpustakaan dalam pelbagai bentuk maklumat akan tersenarai untuk dipilih oleh pengguna, termasuklah koleksi digital kertas soalan peperiksaan.\nSementara itu, bagi para penyelidik dan pensyarah UiTM yang telah berjaya menerbitkan hasil penyelidikan mereka dalam jurnal berindeks dan berimpak, portal MyKM turut menawarkan menu My Article. Menu ini mengandungi maklumat terkini h-indeks bagi setiap penulis. Maklumat indeks sitasi penerbitan oleh penyelidik ini sentiasa dikemas kini dan amat berguna untuk menggalakkan pengeluaran penulisan penyelidikan.\nTidak ketinggalan, aplikasi ini juga menyediakan kemudahan khusus buat golongan orang kurang upaya (OKU) bagi keperluan dalam perkhidmatan dan kemudahan perpustakaan secara peribadi ini. Kemudahan pengaksesan maklumat dalam Perpustakaan Digital UiTM telah diubah suai mengikut kesesuaian dan keupayaan golongan ini. Perubahan ini demi menjamin lima perkara yang terkandung di dalam Polisi Pengajian Pelajar Kurang Upaya 2018 UiTM, iaitu terangkum, ketercapaian, kesetaraan, saksama dan kebolehubahan.\nSebagai kesimpulannya, aplikasi Mobile [email\u00a0protected] dan Portal MyKM merupakan medium penyebaran maklumat perpustakaan yang responsif terhadap perubahan teknologi maklumat dan proses pendigitalan pada masa ini. Perpustakaan Digital UiTM juga amat mengambil berat keperluan dan kehendak setiap lapisan kelompok pengguna dalam persekitaran universiti.\nDemi mencapai matlamat strategik UiTM untuk menjadi universiti tersohor pada tahun 2025, Mobile [email\u00a0protected] dan Portal MyKM memenuhi keperluan maklumat peribadi warga universiti dalam era digitalisasi ini." "Dua Penyelidik Wanita Harumkan Nama Malaysia melalui Penyelidikan dalam Kecerdasan Buatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Dua penyelidik wanita berjaya mengharumkan nama Malaysia pada peringkat antarabangsa apabila muncul sebagai pemenang bagi dua kategori dalam The 8th Underwriters Laboratories-ASEAN-US Science Prize for Women 2022.\nTimbalan Ketua Pegawai Saintifik Cancer Research Malaysia, Dr. Sok Ching Cheong memenangi Kategori Saintis Kanan menerusi penyelidikan yang membangunkan alat telerundingan Saringan Mulut Mudah Alih atau MeMoSA, yakni platform kesihatan digital yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi pengesanan awal kanser mulut.\nSementara itu, Penyelidik Kanan Universiti Monash, Kampus Malaysia, Dr. Maxine Tan menerima sebutan khas dalam Kategori Sains Pertengahan Kerjaya menerusi penyelidikan dalam bidang pengimejan perubatan yang mengaplikasikan AI dengan membangunkan model penilaian risiko jangka pendek kanser payudara pertama berdasarkan mamografi, ciri klinikal dan demografik.\nMenerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Sains dan Teknologi semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi YB Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba berkata kejayaan itu diharapkan menjadi pendorong kepada kedua-dua penyelidik bagi mencapai tahap lebih tinggi dalam penyelidikan saintifik.\nKejayaan ini juga diharapkan menjadi sumber inspirasi untuk menyemarakkan minat dalam kalangan institusi penyelidikan dan para penyelidik negara, khususnya saintis wanita untuk menyumbangkan lebih banyak penyelidikan yang berkualiti dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.\nThe 8th Underwriters Laboratories-ASEAN-US Science Prize for Women 2022 ialah program kerjasama antara ASEAN Committee on Science, Technology and Innovation; kerajaan Amerika Syarikat melalui U.S Agency for International Development; dan Underwriters Laboratories.\nTema yang dipilih pada tahun ini ialah Kecerdasan Buatan dalam Kesihatan dan Keselamatan kerana kepentingannya dalam perkhidmatan penjagaan yang lebih baik dan mampu milik kepada lebih 600 juta orang penduduk ASEAN. Penggunaan AI juga dilihat mampu mengukuhkan keselamatan persekitaran di tempat kerja dan sistem pemprosesan industri sekali gus membantu menangani usaha pemulihan pandemik COVID-19.\nButiran lanjut tentang para pemenang boleh dilayari di https://asean.org/underwiters-laboratories-asean-u-s-science-prize-for-women-2022-winners-announced." "Kaki Ayam Tinggi Kandungan Kolagen\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKita sering mendengar pesanan seperti kaki ayam banyak kolagen ataupun sup kaki ayam bagus untuk orang yang sakit lutut disebabkan kandungan kolagen yang tinggi. Kata-kata ini acap kali digunakan oleh masyarakat untuk menggalakkan pemakanan yang kaya dengan kolagen disebabkan oleh manfaatnya. Namun begitu, benarkah kaki ayam kaya dengan kolagen?\nPertama sekali kita perlu mengetahui tentang kolagen. Kolagen merupakan struktur protein penting yang dijumpai pada tisu badan. Kolagen terdiri daripada struktur heliks ganda tiga yang dibentuk oleh tiga rantaian polipeptida dan mempunyai berat molekular hingga 300 KDa.\nSetiap rantaian polipeptida mengandungi hampir 1000 asid amino atau lebih. Setiap rantaian juga mengandungi jujukan berulang yang pada kebiasaannya terdiri daripada glisina, prolins dan hidroksiprolina. Biosintesis molekul kolagen membentuk gentian kolagen dan seterusnya membina dermis, tendon, tulang, ligamen dan kornea. Terdapat 29 jenis kolagen yang telah direkodkan dan setiap jenis kolagen mempunyai saiz, fungsi dan sampel tisu yang berbeza.\nKolagen yang paling banyak dijumpai dalam organisma ialah kolagen jenis I, II dan III. Kolagen jenis I ialah kolagen yang paling mudah didapati dalam organisma berbanding dengan jenis kolagen lain. Kolagen jenis ini banyak terdapat di dalam kulit, tulang, tendon dan ligamen.\nKolagen jenis II pula pada kebiasaannya ditemukan pada tisu rawan, manakala kolagen jenis III pula banyak terdapat di paru-paru, limpa dan hati. Selain itu, jenis kolagen ini juga bergantung kepada jenis spesies haiwan. Sebagai contohnya, tisu kulit lembu mengandungi kolagen jenis I, manakala tisu kaki ayam mengandungi kolagen jenis II.\nKolagen jenis I kebanyakannya digunakan dalam industri makanan dan makanan tambahan kesihatan. Kolagen jenis ini juga banyak digunakan dalam industri kosmetik kerana mempunyai sifat antipenuaan dan bertindak sebagai pelembap di samping mengekalkan keremajaan kulit.\nSementara itu, kolagen jenis II membantu meningkatkan kesihatan sendi. Lutut ialah sendi yang paling besar di dalam badan manusia. Kajian\u00c2\u00a0 menunjukkan bahawa kaki ayam mempunyai kolagen jenis II yang bagus untuk kesihatan sendi seperti lutut.\nNamun begitu, manfaat kesihatan yang terdapat pada kolagen boleh musnah apabila terdedah pada suhu yang tinggi. Secara asasnya, kolagen diekstrak keluar daripada tisu dengan kaedah asid kolagen larut pada suhu empat darjah Celcius. Kajian menunjukkan bahawa kolagen kaki ayam yang diekstrak keluar menggunakan kaedah ini mempunyai kira-kira 14 peratus kolagen lebih tinggi daripada sesetengah kolagen daripada spesies ikan yang mempunyai antara satu peratus hingga tiga peratus kolagen.\nSemasa proses pengekstrakan dijalankan, suhu dikekalkan pada suhu yang rendah, iaitu empat darjah Celcius untuk memelihara struktur protein kolagen. Suhu yang tinggi akan menyebabkan protein kolagen mengalami denaturasi atau merosakkan ciri yang terdapat pada kolagen tersebut.\nSuhu yang tinggi juga menyebabkan struktur heliks ganda tiga pada protein kolagen terurai menjadi rantaian tunggal yang rawak. Rantaian tunggal ini dikenali sebagai gelatin dengan berat molekular kurang daripada 100 kDa. Hal ini seterusnya menyebabkan fungsi sebenar kolagen akan berubah kepada fungsi gelatin.\nKajian melaporkan bahawa protein kolagen akan mula mengalami denaturasi pada suhu 40 darjah Celsius. Namun begitu, setiap jenis tisu mempunyai kestabilan haba yang berbeza. Haiwan marin yang habitatnya tinggal di dalam air mempunyai kestabilan haba yang lebih rendah berbanding dengan haiwan yang tinggal di daratan. Sebagai contohnya, kolagen daripada obor-obor mempunyai kestabilan haba serendah 32 darjah Celsius. Hal ini bermakna protein kolagen akan mengalami denaturasi dan bertukar menjadi gelatin apabila suhu melebihi tersebut.\nApabila kolagen dipanaskan, gelatin akan terbentuk dan apabila disejukkan, pembentukan gel dapat diperhatikan disebabkan oleh sebahagian struktur rantaian polipeptida gelatin berubah kembali kepada struktur heliks ganda tiga dan seterusnya membentuk struktur gelatin heliks ganda tiga. Pada fasa ini, walaupun gelatin disimpan pada suhu yang rendah, namun gelatin masih kekal sebagai gelatin dan tidak akan berubah semula kepada kolagen.\nGelatin merupakan bahan tambahan yang digunakan sebagai pengemulsi dan pemekat untuk pelbagai produk dalam industri makanan seperti gula-gula, roti, pencuci mulut, aiskrim dan daging. Gelatin penting dalam produk daging untuk mencegah perubahan warna, bau tengik dan kerosakan akibat daripada pertumbuhan mikoorganisma.\nSelain itu, gelatin membantu meningkatkan kestabilan tekstur, memberikan tekstur kenyal dan rasa berkrim dalam kuih-muih. Gelatin juga berperanan besar dalam pembangunan bahan pembungkusan yang boleh dibiodegradasi. Salutan filem yang boleh dibiodegradasi membantu melindungi, mengekalkan dan memanjangkan jangka hayat sesuatu produk makanan. Salutan filem gelatin ini banyak digunakan untuk buah-buahan dan sayur-sayuran.\nBerdasarkan penerangan di atas, dapat disimpulkan bahawa kaki ayam mempunyai kolagen yang bagus untuk sendi. Namun begitu, apabila dimasak pada suhu yang tinggi, kolagen pada kaki ayam akan berubah menjadi gelatin yang mempunyai sifat fizikal seperti gel atau jeli apabila disejukkan dan tidak lagi berfungsi untuk merawat sakit sendi." "Kepentingan Jaminan Makanan Asas Kesempurnaan Kehidupan Manusia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHari Makanan Dunia merupakan peringatan tahunan untuk seluruh warga dunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada\u00a0setiap\u00a016 Oktober bagi memperingati penubuhan Food and Agriculture Organization (FAO) pada tahun 1945.\nMenurut FAO, pada masa ini, hampir satu daripada 10 manusia secara global berada dalam keadaan malnutrisi, manakala lebih daripada tiga bilion manusia masih tidak mampu mengamalkan gaya hidup sihat dan sempurna. Dengan kewujudan konflik geopolitik (perang persempadanan antara Ukrain dan Rusia), perubahan iklim yang mendadak serta peningkatan harga bahan mentah dan makanan pada pembekalan rantaian makanan telah menjadi faktor penentu utama dalam ketakjaminan makanan di seluruh dunia.\nDi setiap negara yang terkesan dengan faktor tersebut, sudah pastinya pihak kerajaan di negara masing-masing (melalui kementerian yang bertanggungjawab dalam sektor pembekalan dan jaminan makanan) sedang mempertingkatkan segala usaha dengan memberikan sepenuh perhatian kepada sektor pertanian dan hortikultur bagi meningkatkan keberhasilan hasil pertanian yang lebih bernutrisi dan lestari (bebas racun perosak, menggunakan mikrobiota tambahan pada tanah dan baja tinja haiwan).\nTema Hari Makanan Dunia Tahun 2022\nTema Hari Makanan Dunia Tahun 2022 pada tahun ini ialah Leave No One Behind. Menurut kajian terkini FAO, kekangan akses dan kebolehberadaan sumber makanan yang bernutrisi telah semakin meningkat pada saban tahun disebabkan oleh situasi global terkini yang mencabar.\nAntara masalah akut yang semakin membimbangkan termasuklah sejumlah 80 peratus manusia yang tinggal di kawasan pedalaman dikategorikan sebagai miskin tegar. Golongan in amat terkesan terhadap kerosakan buatan manusia dan bencana alam semula jadi. Lebih memburukkan keadaan, ada dalam kalangan mereka yang dipinggirkan disebabkan oleh jantina dan geoetnik asal keturunan. Oleh sebab itu, pihak FAO menyarankan semua negara yang sedang mengalami krisis makanan global supaya bersama-sama menggembeleng teknologi, kepakaran dan tenaga dalam menyelesaikan permasalahan ini secara sistemik dengan penuh kesepakatan sejagat.\nPembangunan dan transformasi sistem agropemakanan ke arah produktiviti, nutrisi, persekitaran dan gaya hidup yang lebih baik akan menghasilkan penyelesaian krisis yang lestari dan holistik dengan memberikan kesan tidak langsung kepada perkembangan ekonomi yang berdaya saing tinggi untuk jangka masa panjang.\nKepentingan Hari Makanan Dunia \nPada peringkat global, sekitar satu daripada lima orang kanak-kanak di bawah umur lima tahun dikategorikan sebagai bantut dan sebahagian daripada mereka tidak mempunyai nutrisi yang lengkap. Berdasarkan laporan dalam The UN\u2019s Food and Agriculture Organization\u2019s State of Food Security and Nutrition pada tahun 2022, kebuluran dunia meningkat secara drastik pada tahun 2021, manakala sebanyak 828 juta orang secara global dianggarkan terkesan akibat kebuluran.\nKeadaan ini bertambah buruk dengan ketidakstabilan arah alir pemulihan sosioekonomi dalam kalangan negara yang terjejas akibat COVID-19 dan kadar pemulihan taraf hidup yang perlahan bagi menggantikan sumber pendapatan yang hilang ketika musim wabak tersebut memuncak. Pihak FAO turut menyasarkan bahawa situasi ini bakal menyebabkan sebanyak 670 juta manusia berhadapan dengan risiko kebuluran menjelang tahun 2030. Oleh hal yang demikian, sasaran kelaparan sifar yang termaktub dalam agenda utama Matlamat Pembangunan Mampan pada tahun 2015 perlu dipertingkatkan dengan lebih serius dan pantas.\nKetakjaminan Makanan yang Semakin Membimbangkan \nPihak PBB mendefinisikan jaminan makanan dalam konteks manusia itu adalah mendapat akses secara fizikal, sosial dan ekonomi kepada sumber makanan yang bernutrisi, selamat dan mencukupi serta menepati ciri diet makanan yang membolehkan seseorang itu kekal aktif dan menjalani gaya hidup yang sihat.\nDalam laporan yang dikeluarkan oleh FAO pada tahun 2021, lebih 2.3 bilion manusia di dunia telah direkodkan mengalami ketakjaminan makanan pada tahap sederhana dan membimbangkan. Bahkan, sebelum kedatangan pandemik COVID-19, sebanyak 11.7 peratus populasi dunia pada tahun 2020 telah pun menghadapi ketakjaminan makanan pada yang peringkat yang teruk, iaitu melibatkan lebih daripada tiga bilion manusia yang masih tidak mampu mendapatkan akses kepada diet makanan yang sihat.\nKeadaan ini diburukkan lagi dengan peningkatan inflasi, kebimbangan berterusan terhadap pandemik COVID-19 dan konflik berterusan antara Ukraine dengan Rusia yang telah menyebabkan pengurangan bekalan makanan penting yang semakin membimbangkan, terutamanya di negara yang mempunyai kadar kemiskinan tegar yang tinggi.\nUmum mengetahui bahawa Ukraine dan Persekutuan Rusia membekalkan sebanyak 30 peratus dan 20 peratus bekalan eksport gandum dan jagung selain menjadi pembekal utama baja pertanian dunia. Dalam hal ini, sekurang-kurangnya 50 negara dunia merupakan pengimport utama, yakni sebanyak 50 peratus sumber gandum dan sebahagian besarnya daripada negara di benua Afrika dan negara kurang membangun. Konflik geopolitik tersebut telah menyebabkan pengurangan pembekalan yang mendadak dan dilihat amat membimbangkan sekiranya tiada pelan kontingensi segera diwujudkan oleh kerajaan pengeksport tersebut.\nMenangani Isu Ketakjaminan Makanan dan Nutrisi Yang Lemah \nPihak FAO menyarankan semua pihak kerajaan di dunia untuk mula menilai kembali dan memberikan sokongan dalam semua sudut; sektor huluan (pertanian) sehinggalah sektor hiliran (pemprosesan dan produk makanan berkualiti dan selamat). Segala polis pertanian yang tidak relevan atau lestari (mesra alam dan bebas racun serta logam berat), pasaran perdagangan fiskal, polisi keselamatan dan penyediaan subsidi yang tidak seimbang pada sepanjang pembekalan rantaian makanan perlu dilihat kembali dengan lebih telus dan sistemik agar promosi penghasilan produk makanan yang lebih bernutrisi, murah dan selamat dapat dipertingkatkan.\nIntervensi terhadap profil pasaran dan perdagangan semasa juga dilihat lebih perlu diutamakan kerana hal tersebut sangat berkait rapat dengan kebolehupayaan kuasa membeli para pengguna untuk mendapatkan sumber makanan yang berkhasiat dan sihat.\nKebanyakan negara di dunia memberikan subsidi yang banyak kepada sumber makanan ruji utama dan jarang-jarang tertumpu kepada komoditi lain seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan kekacang. Oleh hal yang demikian, FAO menyarankan supaya pihak kerajaan untuk mula mempelbagaikan sumber makanan utama dengan mempromosikan sumber makanan alternatif baharu yang lebih berkhasiat, mudah diperoleh dan mempunyai daya tahan serangan penyakit atau makhluk perosak yang tinggi." "Perjuangan Bahasa Melayu Perjuangan Bermusim?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBahasa Melayu telah dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Negara apabila negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Selepas lebih 60 tahun, seharusnya bahasa ini telah berada di mercu dan digunakan secara yang selayaknya. Namun begitu, situasi sebaliknya pula yang berlaku apabila bahasa Melayu masih perlu diperjuangkan.\nPada asasnya, bahasa Melayu disifatkan sebagai sudah terlaksana dengan baiknya apabila berjaya memenuhi tujuan komunikasi. Kewajipan berbahasa Melayu sepatutnya dilaksanakan dalam semua perkara, seperti urusan pekerjaan, persidangan, surat-menyurat, mesyuarat dan perundangan. Walau bagaimanapun, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara masih dilihat tidak terbela, seolah-olah menjadi bahan permainan politik.\nApabila dibangkitkan isu yang berkaitan dengan bahasa Melayu, maka berkobar-kobarlah teriakan untuk mendaulatkan dan memperkasakan bahasa Melayu. Namun begitu, sayangnya, teriakan ini akhirnya perlahan-lahan dibawa oleh angin dan menjadi isu yang sudah basi. Yang sepatutnya, perjuangan bahasa Melayu ini merupakan perjuangan yang tiada bernoktah dan menerima sokongan yang tidak bermusim.\nBahasa Melayu sering dianggap enteng dan dilabel sebagai suatu bahasa yang tidak ada nilai ekonomi pada pandangan mata warganegara Malaysia. Rakyat dilihat lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris kerana kelihatan lebih profesional. Hal ini diburukkan lagi dengan dasar pendidikan kebangsaan yang tidak teguh dalam perjuangan bahasa Melayu apabila memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003 yang bertahan selama 10 tahun. Dasar keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju dan persediaan untuk bersaing dalam era globalisasi dikatakan sebagai rasionalisasi terhadap peralihan bahasa pengantar dalam dua subjek ini.\nHasil kajian mendapati bahawa PPSMI ini telah membunuh minat, semangat dan keghairahan pelajar untuk mempelajari subjek Sains dan Matematik pada peringkat sekolah rendah lagi. Hal ini merugikan negara dan menganiaya pelajar. Maka itu, pada bulan Julai 2009, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Menteri Pelajaran ketika itu telah mengumumkan bahawa dasar PPSMI ini dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012. Pengumuman ini bukan sahaja melegakan guru dan pelajar, tetapi juga ibu bapa secara khususnya.\nYang terkini, Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob mengorak langkah untuk meletakkan kedaulatan, kemuliaan dan kedudukan bahasa Melayu di puncak global apabila mencadangkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN. Pelbagai langkah digarap termasuklah mencadangkan agar pegawai yang mempunyai kemahiran dalam penterjemahan membantu negara dalam urusan penterjemahan urusan rasmi kerajaan.\nDi samping itu, langkah untuk mewujudkan Unit Bahasa dan Kebudayaan di setiap pejabat kedutaan negara dan menyediakan kelas bahasa Melayu kepada pegawai dan anak pegawai yang berada di luar negara pula dilihat suatu langkah yang mampu merancakkan perkembangan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa. Oleh sebab itu, setiap warganegara harus memanfaatkan kesempatan ini untuk mempromosikan bahasa Melayu dan menunjukkan bahawa bahasa Melayu suatu bahasa yang relevan untuk dijadikan sebagai bahasa ASEAN.\nCadangan Dat0\u2032 Sri Ismail Sabri Yaakob untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN ini bukanlah pertama kali dicadangkan. Pada tahun 2017, Datuk Seri Najib Razak telah mengusulkan cadangan yang hampir sama tetapi aspirasi tersebut tidak tertunai. Jika diamati secara mendalam, cadangan untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN ini sudah bergema sejak era 1980-an lagi. Oleh sebab itu, usul yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada kali ini diharapkan dapat memenuhi kriteria bahasa Melayu sebagai bahasa dunia.\nBagi mereka yang sangsi terhadap cadangan Perdana Menteri Malaysia ini, bahasa Melayu sememangnya layak menjadi bahasa kedua ASEAN kerana bahasa ini dituturkan oleh lebih daripada 300 juta penutur. Tambahan pula, bahasa Melayu amat kaya dengan kepelbagaian dialek yang menyebabkan bahasa ini berpotensi besar untuk berkembang menjadi bahasa ASEAN. Selain itu, bahasa Melayu juga semakin unggul apabila berada di tangga keenam dunia sebagai bahasa yang paling banyak dituturkan selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris, bahasa Hindustani, bahasa Sepanyol dan bahasa Arab. Perkembangan ketamadunan yang pesat ini membolehkan bahasa Melayu menjadi bahasa keempat yang paling banyak dituturkan di dunia dan tidak mustahil untuk menjadi bahasa yang terbesar di Asia Tenggara pada tahun 2030.\nJika niat murni ini berjaya direalisasikan, bahasa Melayu mampu menjadi bahasa perantara bagi ilmu teknologi dunia. Walau bagaimanapun, sudah pastilah hal ini memerlukan kesungguhan dan kekuatan yang tiada berbelah bahagi daripada setiap warganegara Malaysia. Warganegara Malaysia tidak sepatutnya meragui keupayaan bahasa Melayu untuk bersaing pada peringkat antarabangsa kerana pernyataan ini sudah dianggap basi. Barisan kepimpinan Melayu juga perlu memikirkan sesuatu untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu, terutamanya dalam aspek penamaan harta awam, seperti nama jalan, pusat komersial dan kompleks perumahan yang semakin hari semakin mengagungkan penggunaan bahasa Inggeris dan adakalanya dicampurkan dengan bahasa Melayu yang akhirnya menjadi bahasa rojak.\nAkhir sekali, usaha kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu dengan meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 supaya Dewan Bahasa dan Pustaka \u00a0mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melanggar penggunaan bahasa Melayu pada semua peringkat dilihat sebagai suatu tindakan yang amat baik. Tidak ketinggalan, Kementerian Pengajian Tinggi yang bakal mewajibkan pelajar asing mempelajari bahasa Melayu semasa menuntut di mana-mana universiti di negara ini membolehkan pelajar ini membawa bersama bahasa Melayu apabila pulang ke negara masing-masing kelak. Dengan usaha yang diiringi oleh komitmen dan kesungguhan, terutamanya daripada pihak berkuasa ini, bahasa Melayu diharap benar-benar mampu didaulatkan seperti yang diharapkan oleh semua pihak." "Program Kitar Semula e-Sisa Mudah Alih Dijenamakan Semula sebagai KITAR\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjenamakan semula Program Kitar Semula e-Sisa Mudah Alih (Mobile e-Waste) yang diperkenalkan pada tahun 2015 kepada Projek Kitar Semula Peranti Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi Kecil (KITAR) berkuat kuasa pada 1 November yang lalu.\nMenurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak MCMC, identiti, logo dan slogan baharu, iaitu KITAR: Peranti Lama, Nafas Baharu bermatlamat untuk mengukuhkan dan menambah baik program berkenaan.\nPenjenamaan baharu tersebut juga sebagai usaha menyemarakkan semangat menyumbangkan kembali serta menyemai budaya kitar semula dalam masyarakat selaras dengan sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.\nProgram ini dijayakan dengan kerjasama enam penyedia perkhidmatan, iaitu Celcom Axiata, Digi Telecommunications, Maxis, REDtone, Telekom Malaysia dan Webe.\nUsaha penambahbaikan baharu program tersebut meliputi pelbagai aspek seperti pelantikan rakan usaha sama strategik, iaitu Shan Poornam Metals Sdn. Bhd. dan Flash Malaysia Express Sdn. Bhd. dalam menambah baik aktiviti kitar semula dan logistik selain penyusunan semula pusat sumbangan KITAR di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di seluruh negara. Penyusunan semula ini adalah sebagai kemudahan kepada orang ramai untuk menderma e-sisa selain penstrukturan semula Rakan Strategik kepada Rakan Advokasi.\nTerdapat 120 lokasi kotak pengumpulan KITAR yang diletakkan di pusat PEDi terpilih sebagai permulaan dan hasil yang dijana daripada pembelian balik e-sisa mudah alih ini akan diberikan semula kepada PEDi yang mengambil bahagian dan disalurkan kepada acara amal serta aktiviti kemasyarakatan yang lain.\nSepanjang tujuh tahun pelaksanaannya, program ini telah berjaya mengumpul lebih 4.7 tan metrik sisa elektronik melibatkan 44 rakan kongsi yang terdiri daripada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, industri, peruncit, sekolah, universiti, media serta komuniti termasuklah PEDi di seluruh negara.\nMajlis pelancaran penjenamaan semula program tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Teknologi dan Inovasi MCMC, Encik Shamsul Izhan Abdul Majid dalam sebuah majlis yang diadakan di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya." "Kekayaan Herba di Malaysia Perlu Dimanfaatkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 \u201cPenemuan herba sebanyak 1444 jenis di Malaysia merupakan suatu penemuan yang sangat menarik dan memberikan peluang besar untuk herba di negara ini dijadikan bahan dalam perubatan atau rawatan alternatif yang sangat penting dan kadangkala dipercayai lebih berkesan berbanding dengan perubatan moden.\u201d\nDemikian ucapan pembuka bicara wacana Herba Tropikal dan Kesihatan yang dikelolakan oleh Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai pemudah cara dalam wacana ini.\nWacana yang berlangsung selama dua jam dan disiarkan secara dalam talian ini menampilkan Perawat Perubatan Alternatif (Herba Semula Jadi), Encik Andrew Wang sebagai ahli panel yang membincangkan keistimewaan dan khasiat herba untuk kesihatan diri. Perbincangan ini turut dibantu oleh Presiden Pusat Kebudayaan Han Malaysia, YBhg. Dato\u2019 Goh Hin San selaku penterjemah.\nMenurut Andrew, selepas 53 buah negara yang telah dilawati, beliau mendapati bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang terbaik untuk membuat penyelidikan berkaitan dengan herba. Hal ini dikatakan demikian kerana Malaysia ialah negara yang paling kaya dengan herba dan sesuai untuk menjadikan perubatan tradisional sebagai satu daripada kaedah mengubati penyakit.\nBerdasarkan perbincangan dalam wacana tersebut, Andrew memaklumkan bahawa herba biasanya terdapat di kawasan khatulistiwa. Antara cara penggunaan sesuatu herba itu adalah dengan membakar akarnya sehingga menjadi abu dan arang serta dimasukkan di dalam makanan atau minuman untuk dijadikan sebagai ubat.\nSeterusnya, dalam kajian yang telah dilakukan, Andrew mendapati bahawa banyak khasiat herba yang perlu diketahui umum. Antaranya termasuklah membuang toksik di dalam badan, memanjangkan usia, melancarkan peredaran darah, memudahkan proses pencernaan, mengurangkan perebakan penyakit, menyembuhkan luka dengan cepat, menghilangkan batuk dan membantu mengatasi masalah ketidakseimbangan hormon bagi wanita.\nTambah beliau, herba yang terdapat di negara ini dicadangkan sebagai produk popular bagi membolehkan masyarakat memperoleh khasiatnya dan menjadikannya sebagai satu daripada cara untuk mengurangkan risiko penyakit yang dihidapi oleh rakyat di negara ini.\nRakyat Malaysia perlu mengurangkan pengambilan ais dan mengubah cara pemakanan bagi mengurangkan risiko mendapat penyakit. Pengambilan herba juga dapat membantu masyarakat mengubati penyakit yang dialami.\nMengulas dengan lebih lanjut, beliau mengatakan bahawa penggunaan herba sebagai ubat perlulah mendapat rujukan daripada pakar atau pihak yang berkaitan bagi mengelakkan penyalahgunaan herba tersebut.\nBeliau turut menekankan bahawa kekayaan herba di negara ini luar biasa berbanding dengan negara lain. Oleh itu, satu kajian rapi seharusnya dijalankan terhadap herba ini. Penyelidikan ini perlu diteruskan dengan memberikan pengenalan tentang herba secara terperinci dan praktikal.\nSebelum mengakhiri wacana, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menyatakan bahawa penyelidikan seperti ini adalah titik permulaan untuk masyarakat mendalami kajian tentang herba di Malaysia dan kekayaan herba ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.\n\u201cUntuk perancangan seterusnya, pihak ATMA akan mengatur siri bengkel dengan kerjasama fakulti kesihatan, fakulti perubatan, fakulti sains dan beberapa pihak lain bagi menunjukkan kaedah tradisional herba diolahkan menjadi ubat dan mengadakan sesi rawatan perubatan tradisional secara praktikal,\u201c ujar Pengarah ATMA itu lagi." "Terapi Penggantian Nikotin untuk Perokok\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTabiat merokok merupakan antara penyebab utama kematian yang boleh dielakkan. Lebih lapan juta kematian dilaporkan akibat penggunaan tembakau di seluruh dunia, manakala 1.2 juta kematian daripada angka tersebut melibatkan perokok pasif yang terdedah kepada asap rokok sekunder. Penggunaan tembakau juga menyumbang kepada 15 peratus daripada jumlah kemasukan pesakit ke hospital dan mengakibatkan sebanyak 35 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian di Malaysia. Merokok bukan sahaja mendatangkan bahaya kepada perokok, malah orang sekelilingnya turut berisiko untuk mendapat kesan mudarat.\nTerdapat lebih daripada 7000 bahan kimia dalam sebatang rokok dan 70 daripada bahan tersebut telah dikenal pasti sebagai bahan karsinogen, iaitu berpotensi untuk menyebabkan kanser. Antara bahan-bahan berbahaya dalam rokok termasuklah nikotin, tar, karbon monoksida, arsenik, formaldehid, plumbum, benzena, kadmium, hidrogen sianida dan aseton. Nikotin merupakan bahan utama dalam tembakau yang menyebabkan ketagihan kepada perokok.\nApabila seseorang itu merokok, nikotin dalam asap rokok akan diserap masuk melalui lapisan mukosa di dalam mulut, hidung dan paru-paru sebelum dibawa ke seluruh badan melalui salur darah. Kadar penyerapan nikotin yang pantas membolehkan nikotin dibawa ke otak dalam masa 20 saat selepas sedutan.\nNikotin bertindak di dalam otak dengan merangsang pengeluaran hormon dopamin, iaitu hormon yang mencetuskan rasa gembira dan tenang. Apabila perokok berhenti merokok, kandungan nikotin di dalam badan berkurangan lalu menyebabkan tahap hormon dopamin di dalam otak juga menurun. Perubahan ini menimbulkan rasa gian dan ketagihan yang membuatkan perokok bergantung terhadap nikotin.\nBanyak perokok sebenarnya sedar akan bahana merokok, namun sukar untuk berhenti merokok kerana ketagihan nikotin akan menyebabkan perokok mengalami gejala sarak seperti murung, penat, gelisah, sukar untuk fokus dan keinginan untuk merokok yang sukar untuk dibendung. Oleh itu, perokok disarankan untuk mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi bagi memastikan perokok dapat berhenti merokok sepenuhnya.\nSatu daripada rawatan untuk berhenti merokok adalah melalui terapi penggantian nikotin (NRT). Rawatan ini membantu untuk mengurangkan gejala ketagihan dengan membekalkan nikotin tanpa bahan kimia berbahaya lain yang terdapat dalam asap rokok pada dos yang rendah. Kajian menunjukkan keberkesanan berhenti merokok meningkat pada kadar antara 50 peratus hingga 70 peratus dengan penggunaan NRT.\nProduk NRT tersedia dalam beberapa bentuk dan kekuatan berdasarkan kesesuaian dan kebergantungan pesakit terhadap nikotin. Antara bentuk NRT termasuklah produk tampalan pada kulit (transdermal) dan gula-gula getah.\u00a0 Kajian membuktikan bahawa tiada perbezaan dalam keberkesanan antara produk NRT tersebut jika digunakan dengan betul. Perokok juga perlu menggunakan NRT sekurang-kurangnya selama lapan minggu hingga dua belas minggu. Sekiranya peroko tersebut belum bersedia untuk berhenti merokok secara mendadak, NRT boleh digunakan untuk membantu perokok mengurangkan kuantiti rokok yang diambil sebelum berhenti secara keseluruhan.\nAntara sediaan NRT yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuklah gula-gula getah nikotin dan tampalan transdermal. Gula-gula getah nikotin berkesan untuk melegakan ketagihan dan gejala sarak dengan pantas. Terdapat dua kekuatan gula-gula getah nikotin, iaitu dua miligram dan empat miligram berdasarkan kekerapan merokok.\nPerokok yang menghisap sebanyak 20 batang rokok atau lebih dalam masa sehari atau menghisap rokok pertama dalam masa 30 minit selepas bangun daripada tidur dikategorikan sebagai perokok dengan kadar kebergantungan yang tinggi terhadap nikotin. Secara amnya, perokok kategori ini disarankan menggunakan gula-gula getah nikotin dengan dos empat miligram, manakala perokok yang menghisap kurang daripada 20 batang rokok sehari disarankan menggunakan gula-gula getah nikotin dengan dos dua miligram.\nDi samping itu, perokok juga mempunyai pilihan untuk menggunakan tampalan transdermal yang digunakan sekali sehari untuk membantu mengurangkan keinginan merokok selama 16 jam. Dos nikotin yang terkawal diserap masuk ke dalam salur darah melalui lapisan kulit. Terdapat tiga kekuatan tampalan transdermal, iaitu 25 miligram, 15 miligram dan 10 miligram. Perokok disarankan mengurangkan bilangan gula-gula getah yang dikunyah dan dos tampalan transdermal pada setiap hari secara beransur-ansur. Nasihat daripada doktor dan ahli farmasi adalah diperlukan bagi memberikan saranan mengikut kesesuaian individu.\nPerokok yang menggunakan NRT semasa percubaan berhenti merokok mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk berjaya jika menggunakan gabungan kedua-dua produk NRT tersebut dengan teknik yang betul.\nGula-gula Getah Nikotin\nTampalan Transdermal Nikotin Seseorang itu juga perlu memantau beberapa kesan sampingan yang boleh berlaku disebabkan oleh nikotin atau teknik penggunaan produk NRT yang kurang tepat. Mengunyah gula-gula getah nikotin terlalu laju akan menyebabkan lebih banyak dos nikotin yang dikeluarkan pada satu-satu masa. Hal ini boleh mengakibatkan gejala seperti pening kepala, sedu dan mual. Ulser mulut juga boleh terjadi disebabkan teknik penggunaan gula-gula getah yang tidak tepat.\nSelain itu, penggunaan produk tampalan transdermal juga berisiko menyebabkan iritasi kulit. Jika kesan sampingan tersebut berlanjutan selepas empat hari, perokok perlu segera berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan nasihat dan rawatan.\nNRT perlu digunakan dengan berhati-hati terutamanya dalam kalangan pesakit yang mempunyai masalah jantung. Individu yang hamil atau sedang menyusukan juga digalakkan untuk berhenti merokok tanpa menggunakan NRT. Hal ini disebabkan oleh tiada bukti kukuh mengenai keberkesanan dan keselamatan NRT pada ibu yang hamil dan tiada ujian yang dijalankan pada perokok yang menyusukan anak semasa dalam rawatan menggunakan NRT.\nKKM komited dalam usaha membantu perokok untuk berhenti merokok. Perokok yang ingin mendapatkan saringan ataupun rawatan berhenti merokok boleh mengunjungi fasiliti yang diiktiraf KKM yang menawarkan perkhidmatan berhenti merokok atau layari laman web jomquit.moh.gov.my untuk mengetahui fasiliti berdekatan yang menawarkan perkhidmatan tersebut. Orang awam juga boleh mendaftar dalam program Jomquit melalui aplikasi MySejahtera dalam telefon pintar masing-masing.\nUntuk sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722 pada hari Isnin hingga Jumaat, pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang.\n\u00a0\nSiti Hawa Mohd Nor ialah Pegawai Farmasi di Kementerian Kesihatan Malaysia." "Ambil Vaksin Dos Penggalak Cegah Varian XBB\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cRakyat Malaysia digalakkan untuk mendapatkan suntikan vaksin penggalak yang menghasilkan imuniti kacukan dan imuniti vaksin untuk melindungi badan daripada jangkitan COVID-19.\u201d\n\nDemikian kupasan daripada Ketua Jabatan Perubatan dan Pakar Penyakit Berjangkit, Hospital Sungai Buloh, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), YBhg. Dato\u2019 Dr. Suresh Kumar dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia, semalam.\nMenurut beliau, susulan penemuan subvarian XBB yang melibatkan empat orang warganegara Malaysia yang tidak memiliki sejarah perjalanan ke luar negara, KKM telah mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) baharu untuk mengekang penularan subvarian XBB ini.\nTambah beliau lagi, terdapat tiga ciri yang membezakan antara subvarian XBB dengan varian Omicron, iaitu kesan jangkitan COVID-19 yang berkurangan, perkembangan subvarian XBB menerusi gabungan dua subvarian dan kewujudan mutasi tambahan COVID-19 yang mudah menjangkiti manusia.\nPergerakan ke tempat kerja dan urusan harian di luar rumah menyebabkan manusia mudah dijangkiti COVID-19. Oleh itu, kepentingan perlindungan vaksin bertujuan untuk mencegah jangkitan COVID-19 dan penularan subvarian XBB ini. Hal ini dikatakan demikian kerana penularan subvarian XBB akan menjangkiti individu yang telah dijangkiti COVID-19 sebelum ini. Namun begitu, tiada bukti yang menunjukkan bahawa subvarian XBB mendatangkan sakit yang serius.\nBeliau menyatakan bahawa individu yang berisiko tinggi menghidap penyakit kronik seperti kencing manis dan asma serta mempunyai kadar ketahanan badan yang rendah secara semula jadi perlu berwaspada dengan penularan subvarian XBB ini.\nMengupas dengan lebih lanjut tentang hal ini, antara langkah untuk mencegah penularan subvarian XBB dan COVID-19 ialah mengamalkan SOP seperti memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan sosial dan sentiasa mencuci tangan dengan menggunakan pensanitasi tangan. Selain itu, Malaysia perlu mengekalkan sumber vaksinasi yang sedia adabagi mencegah simptom penyakit yang lebih teruk dan kematian akibat jangkitan COVID-19.\nMenjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi, perkara tersebut meningkatkan risiko peningkatan subvarian XBB. Semua rakyat Malaysia yang keluar untuk mengundi dinasihatkan agar mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh KKM seperti memakai pelitup muka dengan betul di tempat yang sesak, mengamalkan penjarakan sosial, sentiasa kerap mencuci tangan dan melakukan TRIIS, iaitu uji (test), lapor (report), asing (isolate), maklumkan (inform) dan dapatkan rawatan (seek) jika bergejala.\nGolongan dewasa, remaja dan kanak-kanak yang mendapat vaksinasi perlindungan sebanyak tiga dos adalah selamat untuk kesihatan mereka serta dapat mencegah jangkitan COVID-19 dan penularan subvarian XBB.\nSementara itu, KKM telah melonggarkan syarat untuk mendapatkan suntikan dos vaksinasi dan suntikan dos penggalak. Suntikan dos penggalak kedua diberikan kepada golongan muda yang berusia 18 tahun ke atas sebagai perlindungan selepas mereka menerima suntikan dos penggalak pertama.\nHasil suntikan dos penggalak pertama dan suntikan dos penggalak kedua dapat melindungi dan mengelakkan diri daripada dijangkiti subvarian XBB serta penyakit kronik yang serius. Oleh itu, jelaslah bahawa vaksinasi yang diberikan bertujuan untuk meningkatkan ketahanan badan daripada sebarang jangkitan penyakit." "Awasi Kesihatan Fizikal dan Mental Masing-masing \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSimpang Empat \u2013 \u201cJika didapati tahap kesejahteraan psikologi diri sendiri atau ahli keluarga masing-masing berada dalam keadaan tidak terkawal dan merasakan diri bergelut untuk menghadapi kehidupan seharian, berjumpalah dengan doktor atau pakar kesihatan mental.\u201d\nDemikian nasihat daripada Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas baginda berkenan berangkat menyerahkan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21 000 kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al-Ilmi, Kampung Sungai Berembang, Simpang Empat.\nMenurut baginda, wabak COVID-19 sememangnya telah menjadi cabaran besar kepada dunia dan mengubah kehidupan masyarakat. Oleh yang demikian, baginda menasihati orang ramai agar memerhatikan kesihatan fizikal diri masing-masing.\nTambah baginda lagi, makanlah makanan yang seimbang, minum air yang mencukupi dan bersenam secara kerap. Tidur yang berkualiti boleh membawa perubahan yang besar terhadap kesihatan mental dan fizikal.\nTurut hadir mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor." "Fenomena Gerhana Bulan Penuh Berlaku Esok\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Keluarga Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh pada 8 November 2022. Fenomena ini akan berlaku 5.8 hari sebelum bulan berada pada kedudukan paling jauh dari bumi. Selain di Malaysia, fenomena ini juga dapat dilihat secara keseluruhan di Asia, Australia, Amerika Utara dan Amerika Selatan serta sebahagian utara dan timur Eropah.\nBagi membincangkan fenomena ini dengan lebih lanjut, rancangan Selamat Pagi Malaysia telah mengundang Ketua Penolong Pengarah Planetarium Negara, Encik Jong Tze Kian. Beliau menyatakan bahawa gerhana bulan penuh berlaku apabila bulan mengorbit dan melintas masuk ke dalam bayang-bayang bumi, iaitu umbra dan penumbra. Apabila bulan bergerak masuk ke dalam kawasan umbra, sebahagian bulan akan nampak gelap dan apabila bulan sepenuhnya masuk ke dalam kawasan umbra, bulan akan berwarna merah. Hal ini disebabkan oleh lintasan cahaya daripada matahari yang masuk ke atmosfera dan terbias sampai ke bulan lalu menghasilkan warna merah.\nFenomena gerhana bulan penuh pada hari Selasa ini berlaku mulai pukul 4.02 petang dan berakhir pada pukul 9.56 malam waktu tempatan. Walau bagaimanapun, fenomena ini hanya dapat dilihat di kawasan tertentu, terutamanya bagi penduduk di negeri Sabah dan Sarawak.\nTambah beliau lagi, hal ini adalah disebabkan oleh permulaan fasa gerhana penumbra dan separa yang berlaku apabila bulan berada di bawah ufuk.\nBagi penduduk yang berada di Semenanjung Malaysia, fenomena tersebut hanya mula kelihatan ketika fasa gerhana maksimum hingga fasa gerhana penumbra berakhir pada pukul 9.56 malam dan para pemerhati dinasihatkan untuk berada di kawasan yang tinggi.\nBeliau juga memaklumkan bahawa pihak Planetarium Negara akan bersiaran secara langsung melalui Facebook rasminya untuk menunjukkan kepada masyarakat fenomena gerhana bulan penuh yang akan berlaku nanti. Namun begitu, tiada pencerapan fizikal yang akan dilaksanakan pada hari tersebut.\nSebelum mengakhiri perkongsiannya, beliau menyeru kepada masyarakat yang berminat untuk mengetahui bidang astronomi dengan lebih lanjut agar mengikuti Facebook rasmi Planetarium Negara kerana segala maklumat akan dikongsikan dalam platform ini." "Pelihara Rizab Biosfera demi Generasi Masa Hadapan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Sambutan Hari Rizab Biosfera Antarabangsa julung-julung kalinya disambut di Malaysia pada tahun ini. Sambutan yang diadakan pada 3 November setiap tahun adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dunia berkenaan dengan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan rizab biosfera di seluruh dunia.\nMenurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan, rizab biosfera merupakan tapak yang ditubuhkan oleh sesebuah negara dan diiktiraf oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) di bawah program Man and The Biosphere (MAB) bagi memperbaik hubungan antara manusia dengan alam sekitar serta memberikan penekanan kepada keperluan pembangunan mampan.\nPenyertaan Malaysia dalam MAB bermula pada 26 Mei 2009 melalui pengiktirafan Tasik Chini, Pahang sebagai tapak rizab biosfera pertama di Malaysia diikuti dengan banjaran Crocker, Sabah pada 12 Jun 2014 dan Bukit Bendera, Pulau Pinang pada 15 September 2021.\nTambah beliau, hingga kini sebanyak 738 tapak rizab biosfera dalam jaringan rizab biosfera dunia yang melibatkan 134 buah negara.\nBeliau juga menyatakan bahawa KeTSA dengan kerjasama Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang akan menganjurkan Bengkel Pembelajaran Kolaboratif Rizab Biosfera @ Bukit Bendera pada 9 November 2022 dan 10 November 2022 bersempena dengan Hari Rizab Biosfera peringkat kebangsaan dan antarabangsa.\nMengulas dengan lebih lanjut, bengkel yang melibatkan semua tapak rizab biosfera di Malaysia ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran awam mengenai tapak rizab biosfera serta mengukuhkan jaringan kerjasama kebangsaan antara tapak rizab biosfera dengan KeTSA.\nSementara itu, beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak kerajaan negeri Pahang atas inisiatif dalam melaksanakan penambahbaikan terhadap tapak rizab biosfera Tasik Chini selaras dengan cadangan International Advisory Committee for Biosphere Reserves.\nKeTSA juga mengalu-alukan inisiatif daripada kerajaan negeri Sabah untuk mencalonkan landskap Kinabatangan sebagai tapak rizab biosfera dan kerajaan negeri lain diharapkan dapat mencontohi inisiatif ini untuk mencalonkan kawasan lain yang berpotensi.\nBeliau juga menyeru kepada semua pihak agar menggembleng tenaga dan bekerjasama dalam memulihara dan memelihara rizab biosfera demi generasi masa hadapan di negara ini." "Petugas Media Perlu Bersedia Mendepani Cabaran Teknologi Digital\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSintok \u2013 Dalam era ledakan teknologi maklumat dan dunia tanpa sempadan ini, petugas media perlu mempersiapkan diri dengan melakukan transformasi yang memacu ke arah teknologi digital agar kekal relevan dan berdaya saing dalam industri.\nPerkara ini diakui oleh tiga graduan Sarjana Sains Kewartawanan Multimedia, iaitu Ketua Penerbit Berita Video Digital Sinar Harian, Noor Liza Abu Hasan; Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian, Badruldin Zakaria dan Pegawai Perhubungan Media Rasuah Busters, Sinar Harian, Asmaliza Mansor ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Ke-34 Universiti Utara Malaysia (UUM).\nMenurut Noor Liza Abu Hasan, perkembangan komunikasi digital yang sangat pesat dan canggih menyebabkan hampir seluruh kehidupan manusia seperti urus niaga wang, pengangkutan awam dan perniagaan berkait dengan perhubungan melalui jaringan Internet.\n\u201cSaya menjangkakan industri media pada masa akan datang semakin mencabar. Jadi, petugas media pada masa ini perlu melakukan perubahan dengan mengaplikasikan teknologi digital dalam tugas mengikut peredaran masa dan mempersiapkan diri supaya kekal relevan dengan perubahan yang amat pantas ketika ini,\u201d ujarnya.\nTambahnya, rakan-rakan media yang berminat menceburi bidang akademik adalah amat dialu-alukan kerana generasi akan datang memerlukan penggiat industri yang mempunyai pengalaman.\n\u201cTidak rugi jika kita mempersiapkan diri dengan ilmu dan pengurusan untuk kelangsungan perjalanan kerjaya. Hal ini juga membuka peluang pada masa hadapan kerana adakalanya industri tenat dengan kewujudan media sosial yang meningkatkan persaingan,\u201d jelasnya lagi.\nMenurut Badruldin Zakaria pula, pelibatan industri media dalam sesebuah universiti dapat memastikan hubungan yang berkesan dan memberikan impak positif antara universiti dengan industri.\n\u201cMemang seronok dapat berkongsikan pengalaman dunia media dengan pelajar kerana mereka tidak mengetahui keadaan sebenar dalam industri. Kami juga dapat menimba ilmu daripada universiti untuk diaplikasikan dalam industri.\u201d\n\u201cDi UUM, pensyarah sentiasa memahami situasi kami dan terbuka menerima pandangan kami mewakili pihak industri. Teori dan praktikal juga berjalan secara serentak sepanjang pengajian,\u201d jelasnya lagi.\nPerkara sama turut diakui oleh Asmaliza Mansor yang mengundang semua pengamal media untuk menyambung pelajaran agar dapat meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran masing-masing demi perkembangan kerjaya.\n\u201cDunia media pada hari ini menuntut seseorang itu bukan sahaja mempunyai kemahiran sebagai seorang wartawan, malah memainkan peranan sebagai jurufoto dan juruvideo.\u201d\nNaib Canselor UUM, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata UUM kini menjadi sebahagian daripada kisah perkembangan industri kewartawanan negara apabila sebanyak tujuh pengamal media telah memperoleh Ijazah Sarjana Sains Kewartawanan Multimedia.\n\u201cSaya berharap dengan segala ilmu yang diperoleh di sini dapat meningkatkan tahap profesionalisme wartawan negara untuk mengangkat cerita besar negara pada peringkat antarabangsa,\u201c katanya.\nKetiga-tiga graduan tersebut menerima Ijazah Sarjana Sains Kewartawanan Multimedia yang disampaikan Pro-Canselor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah Darul Aman pada 7 November di Dewan Mu\u2019adzam Shah." "Pelajar Sekolah Malaysia Memenangi Semua Kategori Universal Robotics Challenge 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Tech Up Sdn. Bhd. sebagai tuan rumah kebangsaan Universal Robotics Challenge (URC) 2022, iaitu pertandingan robotik pada peringkat antarabangsa bagi pelajar sekolah rendah dan menengah rendah telah mengumumkan keputusan pertandingan maya yang menyaksikan pelajar sekolah Malaysia muncul sebagai pemenang tempat pertama dalam kesemua empat kategori yang dipertandingkan.\nURC 2022 yang dianjurkan oleh Artec Co., Ltd. dari Jepun ini dihoskan secara rasmi oleh Jawatankuasa Eksekutif Universal Robotics yang terdiri daripada 38 orang hakim daripada 14 buah negara. Pusingan penilaian projek pada peringkat antarabangsa dimuktamadkan pada Oktober 2022.\nDalam acara Idea Contest (kategori junior), pemenang tempat pertama ialah pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang, iaitu Ahmad Aiman Danish Ahmad Syahir, Muhammad Harith Zaeem Hizamuddin dan Adam Hariz Abdul Halim, manakala pemenang tempat pertama bagi acara Idea Contest (kategori senior) pula ialah pelajar dari Sekolah Bina Insan Yayasan MSU, iaitu Muhammad Aliff Norhamizam, Muhamad Afif Muhamad Rizuan dan Zulhafidz Ngisa.\nSeterusnya, bagi acara Virtual Robotics (kategori junior), Mi\u2019 Mar Muhammad Sinan Hafizulfahmi dari Sekolah Rendah Islam (SRI) Al-Amin Gombak merupakan pemenang teratas dalam pertandingan ini. Selain itu, bagi acara Virtual Robotics (kategori senior) pula, Orhan Ghazi Hafizulfahmi dari Sekolah Menengah Islam (SMI) Al-Amin Gombak telah memenangi tempat pertama.\nKesemua pelajar ini ialah peserta pada peringkat akhir teratas (peringkat kebangsaan) sebelum mewakili Malaysia untuk bertanding bagi menentang peserta dari Australia, Chile, China, Colombia, Perancis, Jepun, Hong Kong, Macau, Filipina dan Korea Selatan. Para pemenang URC 2022 telah menerima sebuah kit ArtecRobo 2.0 daripada Artec Co., Ltd.\nURC 2022 pada tahun ini juga telah mencatatkan sejumlah 81 orang peserta dalam acara Idea Contest dan 655 orang peserta dalam acara Virtual Robotics pada peringkat pusingan kebangsaan Malaysia.\nMenurut Ahli Jawatankuasa dan Presiden Artec Co., Ltd., Etsu Fujiwara, berikutan kesan pandemik COVID-19 hingga tahun ini, beliau bersyukur kerana masih dapat menganjurkan URC walaupun secara dalam talian.\nMenurutnya, tema URC pada tahun ini berkisarkan keselamatan trafik. Hasil kerja setiap peserta terhadap kesedaran keselamatan yang tinggi dan kepintaran yang ditampilkan adalah sangat memberangsangkan. Beliau juga berasa bangga kerana pertandingan ini dapat mendorong peserta untuk berkembang maju dalam dunia yang sentiasa berubah.\nTech Up Sdn. Bhd. mengucapkan tahniah kepada semua peserta URC 2022 pada tahun ini, terutamanya kepada sekolah dan peserta kali pertama yang berani mengambil langkah mempelajari ilmu robotik dan menggunakan pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam pertandingan ini. Kemenangan SK Sungai Udang dalam acara Idea Contest adalah hasil daripada usaha mereka bertahun-tahun lamanya. Sekolah ini memulakan langkah dalam bidang robotik dengan menyewa sebuah set ArtecRobo dan kemudiannya mendapat sebuah set ArtecRobo secara percuma melalui program Robot4School yang dianjurkan oleh Tech Up Kids Learning pada tahun 2020. Kejayaan peserta dari sekolah ini merupakan contoh ketekalan dan dedikasi sekolah, guru dan pelajar.\nDemikian ucapan penghargaan yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tech Up Sdn. Bhd, Ainaa Rosli dalam pertandingan tersebut.\nDalam acara Idea Contest, peserta diminta untuk menciptakan projek dengan menggunakan set ArtecRobo sebenar dan memuat naik video tersebut melalui YouTube, manakala bagi acara Virtual Robotics pula, pelajar diuji kemahiran mengatur cara dengan menggunakan perisian simulator robotik secara dalam talian.\nTambah Ainaa \u00a0lagi, \u201cTech Up Sdn. Bhd. juga berasa sangat bangga kerana perisian yang telah dibangunkan, iaitu GoTechUp x ArtecRobo dipilih sebagai perisian rasmi dalam acara Virtual Robotics untuk kali kedua oleh URC. Perisian ini berkaitan dengan keselamatan trafik yang membolehkan pelajar merancang strategi dan menghabiskan misi sambil menggunakan konsep pengaturcaraan robotik ArtecRobo.\u201d\nTahun ini merupakan pertama kali URC menerima penyertaan daripada peserta dari negara Amerika Latin seperti Colombia dan Chile di samping peserta baharu dari China dan Filipina sejak pertandingan ini dimulakan pada tahun 2017.\n\u00a0\nSenarai Penuh Pemenang Universal Robotics Challenge 2022\nIdea Contest (Kategori Junior)\nTempat Pertama\nAhmad Aiman Danish Ahmad Syahir, Muhammad Harith Zaeem Hizamuddin dan Adam Hariz Abdul Halim dari SK Sungai Udang, Malaysia.\nTempat Kedua\nYusei Takata dari Cands Seminar, Jepun.\nTempat Ketiga\nFaiqah Hannan Muhamod Fahmir, Nur Qaseh Imanina Hassan dan Nur Ammara Arissa Mohamad Ali dari SK Datuk Nan Kaya, Malaysia.\n\u00a0\nIdea Contest (Kategori Senior)\nTempat Pertama\nMuhammad Aliff Norhamizam, Muhamad Afif Muhamad Rizuan dan Zulhafidz Ngisa dari Sekolah Bina Insan Yayasan MSU, Malaysia.\nTempat Kedua\nTakumi Matsumura dari Smile Computer School/Nagasawa Junior High School, Jepun.\nTempat Ketiga\nSkylar Freya T. Ang dan Samara Fionna T. Ang dari MGC New Life Christian Academy, Filipina.\n\u00a0\nPeserta Cemerlang Lain dari Malaysia \nIdea Contest \u00a0(Kategori Senior)\n\u00a0\nVirtual Robotics (Kategori Junior)\nTempat Pertama\nMi\u2019 Mar Muhammad Sinan Hafizulfahmi dari SRI Al-Amin Gombak, Malaysia.\nTempat Kedua\nAhmad Hasif Supardi dari SK Sri Kulim, Malaysia.\nTempat Ketiga\nY.N. dari Smile Kids Children\u2019s Programming Class, Jepun.\n\u00a0\nPeserta Cemerlang Lain dari Malaysia \nVirtual Robotics (Kategori Junior)\n\u00a0\nVirtual Robotics (Kategori Senior)\nTempat Pertama\nOrhan Ghazi Hafizulfahmi dari Sekolah Menengah Islam (SMI) Al-Amin Gombak, Malaysia.\nTempat Kedua\nMandy Lee En Ting dari SMK Bintulu, Malaysia.\nTempat Ketiga\nTakumi Nagiri dari Smile Computer School/Nagasawa Junior High School, Jepun.\n\u00a0\nPeserta Cemerlang Lain dari Malaysia\nVirtual Robotics (Kategori Senior)" "Hadapi Masa Hadapan yang Mencabar dengan Memanfaatkan Teknologi Digital\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 \u201cPersediaan masa hadapan melalui kemajuan teknologi digital harus diperhebat oleh semua pihak, sama ada sektor pendidikan ataupun perkhidmatan kerajaan agar masyarakat sentiasa bersedia dalam menempuh dunia yang semakin terbuka luas.\u201d\nDemikian titah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan menerima kunjungan mengadap Presiden Alif Society dari Mauritius, Dawood Auleear di Kangar, baru-baru ini.\nKesediaan masyarakat terhadap teknologi digital bukan hanya sekadar memenuhi keperluan hidup pada masa ini, tetapi adalah penting untuk mempersiapkan diri ummah bagi menghadapi masa hadapan yang semakin mencabar.\nPada masa yang sama, Dawood Auleear mempersembahkan harapan beliau agar DYTM Raja Muda Perlis dapat berangkat menyampaikan titah ucaptama dalam persidangan\u00a0 Digital Technologies for Future Education yang akan berlangsung di Port Louis, Mauritius pada pertengahan tahun hadapan.\nSebagai rekod, Alif Society yang merupakan sebuah badan amal yang pernah menghantar beberapa orang pelajar cemerlangnya untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sebelum ini.\nTurut hadir ialah Naib Canselor UniMAP, YBrs. Profesor Ts. Dr. Zaliman Sauli, Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), YBrs. Profesor Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP, YBrs. Profesor Ir. Dr. Rizalafande Che Ismail." "Tahniah kepada Pemenang Pertandingan Baca Naskhah Melayu Klasik Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2212 Tahniah diucapkan kepada pemenang Pertandingan Baca Naskhah Melayu Klasik Malaysia bersempena dengan pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 (KLWBC 2020) dan Gerakan Membaca 2021 yang telah dilaksanakan pada 1 hingga 8 April 2021.\u00a0Bagi menjayakan pertandingan ini, sebuah buku nadir yang berjudul Inilah Shaer Unggas Adanya, iaitu buku daripada koleksi Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka. Naskhah ini memberikan tumpuan kepada pengajaran Islam melalui perihal unggas dan burung yang digunakan sebagai wahana pendidikan.\nDalam pertandingan tersebut, Ainun Nasibah Johar, muncul juara bagi peringkat institusi pengajian tinggi dan umum, manakala naib juara pula dimenangi oleh Ummu Fathiyyah Mohamad Azam dan tempat ketiga disandang oleh Norfazliana Mohd Yusoff. Pemenang saguhati ialah Wan Al Azim W Azman, Nur Ibtisam Zulkifli dan Fatimah Omar@ Mohd. Bagi kategori sekolah menengah pula dijuarai oleh Aish Amna Suffian, Nurul Izani M Razali di tempat kedua dan Aisy Basri Mohd Bakri di tempat ketiga. Penerima hadiah saguhati ialah Aidy Badri Mohd. Bakri, Aiman Afnan Budiman dan Noor Aina Yasmin Kamarulzaman.\nAntara matlamat penganjuran pertandingan ini adalah untuk mendekati khalayak bagi memugarkan semula apresiasi dan kecintaan terhadap tulisan Jawi melalui manuskrip dan buku nadir Melayu agar dapat digarap dan disebarkan. Penilaian markah dibuat berdasarkan aspek kelancaran (merujuk teks), irama, suara, gaya, teknik dan persembahan serta kreativiti peserta.\nPenganjuran Pertandingan Baca Naskhah\u00a0Melayu Klasik Malaysia ini diharapkan dapat menjadi medan untuk menguji keupayaan peserta bagi memahami dan menguasai kosa kata Melayu klasik, lebih-lebih lagi dalam tulisan Jawi lama." "\u201cPerkembangan\u201c dan \u201cPengembangan\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nSaya terkeliru oleh perkataan \u201cperkembangan\u201c dan \u201cpengembangan\u201c. Setelah merujuk kamus, saya masih tidak dapat memahami perbezaannya. Apakah maksud kedua-dua perkataan itu? Bagaimanakah cara penggunaannya yang betul?\n\u00a0\nDaripada:\nShaliza Sulaiman,\nButterworth, Pulau Pinang." "Pavilion Malaysia Memenangi Anugerah Perak Gulf Sustainability Awards 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Pavilion Malaysia berjaya merangkul Anugerah Perak daripada Gulf Sustainability Awards 2022 anjuran program Anugerah Antarabangsa yang telah menerima Pengiktirafan Kepercayaan Cemerlang daripada Majlis Piawaian Anugerah Bebas.\nAcara berprestij tahunan yang diadakan ini adalah untuk meraikan organisasi di Timur Tengah yang mengamalkan amalan terbaik dalam tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat. Pada tahun ini, Gulf Sustainability Awards 2022 telah mengiktiraf sumbangan daripada beberapa kategori termasuklah kemampanan alam sekitar, kesedaran kemampanan, pembangunan komuniti dan pengurusan air atau sisa.\nPavilion Malaysia adalah satu-satunya pavilion karbon sifar bersih di Ekspo 2020 Dubai yang direka seperti kanopi hutan hujan dan telah menerima pengiktirafan bagi kategori Inisiatif Karbon Sifar. Ekspo Dunia yang diadakan bermula 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022 ini merupakan penganjuran pertama di rantau Timur Tengah, Afrika dan Asia Selatan serta disertai oleh hampir 200 buah negara dan organisasi.\nPenyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai telah diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) selaku agensi pelaksana.\nProgram ofset telah dilaksanakan untuk meneutralkan karbon yang terkandung dalam bahan karbon dioksida yang dikeluarkan sepanjang proses pembinaan Pavilion Malaysia dan semasa Ekspo 2020 Dubai berlangsung.\nMOSTI telah menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bagi perolehan 4000 tan karbon dioksida bagi ofset di bawah program National Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation (REDD Plus).\nPavilion Malaysia telah mengadaptasikan amalan kelestarian di bawah Sistem Pengurusan Hutan Lestari yang diguna pakai di hutan Malaysia. MOSTI juga telah melaksanakan program penanaman sebanyak 500 batang pokok dengan kerjasama KeTSA dan agensinya, iaitu Yayasan Hijau Malaysia. Usaha ini dilakukan sebagai tanda menyokong agenda nasional, yakni Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di bawah Program Penghijauan Malaysia.\nInisiatif karbon sifar telah dirancang dan dilaksanakan melalui Jawatankuasa Kecil yang dipengerusikan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), YBrs. Dr. Nor Azlina Ariffin merangkap Ketua Sekretariat Induk Penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai bersama-sama pegawai dari MOSTI, KeTSA, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, SIRIM, Jabatan Standard Malaysia, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, Majlis Kayu Kayan Malaysia dan arkitek Pavilion Malaysia, iaitu Hijjas Architects and Planners serta MGTC.\nJawatankuasa ini berperanan dalam menentukan kaedah pelaksanaan inisiatif dan memastikan kaedah tersebut diiktiraf oleh badan antarabangsa.\nPavilion Malaysia yang bertemakan Memperkasa Kemampanan telah menunjukkan komitmen negara terhadap agenda kelestarian melalui pembinaan pavilion karbon sifar bersih di Ekspo Dunia tersebut. Malaysia menggalakkan orang ramai dan pelawat ekspo untuk menyertai perjuangannya melalui kempen #MyButterflyEffect. Pavilion ini dibina dengan mengambil kira pelepasan karbon rendah, elemen hijau, mampan dan penjimatan tenaga.\nMenteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba berkata, \u201cPengiktirafan sebanyak lima anugerah antarabangsa dalam masa lapan bulan adalah sesuatu yang bersejarah bagi Pavilion Malaysia. Kejayaan ini membuktikan bahawa sebagai Keluarga Malaysia yang bersatu padu dan berpegang kepada matlamat yang sama, kita boleh menggapai segala kejayaan.\u201d\nEkspo 2020 Dubai telah menunjukkan inisiatif Malaysia ke arah masa hadapan yang lebih mampan dan memaklumkan kepada dunia bahawa Malaysia sedang menuju ke arah yang lebih hijau. Kemenangan terbaharu ini adalah sejajar dengan matlamat negara ini, iaitu untuk mencapai karbon neutral seawal tahun 2050.\nSebagai rekod, terdahulu Pavilion Malaysia telah memenangi Anugerah Emas bagi kategori Projek Mampan (Pembinaan) Terbaik Tahun 2022 oleh Global Architecture and Design Awards (GADA 2022), Anugerah Emas bagi kategori Interpretasi Tema dalam Anugerah Pavilion Ekspo 2020 Dubai anjuran Bureau International des Expositions (BIE), Anugerah Emas untuk Perkhidmatan Pengguna dan Perniagaan Terbaik dalam Anugerah Kempen Pemasaran Asia-Pasifik APPIES APAC 2022 dan Honourable Mention for Best Sustainable Design oleh majalah EXHIBITOR World Expo Awards 2022." "Bilik Gerakan Bencana MAFI Diaktifkan di Seluruh Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Bilik Gerakan Bencana Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah diaktifkan dan digerakkan bagi persiapan mengenai intervensi bantuan kepada komuniti agromakanan, terutamanya golongan petani, penternak dan nelayan yang terjejas disebabkan oleh banjir.\nMAFI melalui MAFI Inc. di setiap negeri sentiasa bersedia untuk menyalurkan bantuan sejurus maklumat berkaitan diperoleh di lapangan oleh pegawai yang turun padang bagi menilai kerosakan dan kerugian yang dialami serta segera memberikan bantuan kepada pihak yang terlibat.\nSetakat semalam, laporan awal kejadian bencana bagi sektor tanaman semasa secara kumulatif adalah sebanyak 256 orang petani dengan keluasan kawasan pertanian yang terlibat kira-kira 374.81 hektar.\nBeberapa buah daerah di negeri Pahang, Kedah, Perak dan Selangor terlibat dengan bencana ini. Kini, tumpuan utama diberikan kepada pemantauan situasi secara harian oleh pasukan MAFI Inc. di setiap negeri dan daerah yang terkesan, manakala negeri lain diminta untuk bersedia selain bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pihak berkuasa tempatan bagi menghadapi situasi di luar jangkaan.\nMAFI sentiasa memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa banjir, terutamanya golongan sasar diberikan perhatian sepenuhnya dengan kerjasama erat daripada semua pihak seperti jabatan dan agensi negeri di samping memastikan sekuriti makanan negara terjamin dalam apa-apa jua keadaan." "Jantung Bengkak yang Sering Diabaikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPenyakit jantung bengkak atau megacardia\u00a0merujuk keadaan jantung yang mengalami pembesaran atau disebut sebagai jantung bengkak. Organ jantung dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu saluran kanan dan kiri. Jantung bengkak boleh berlaku pada satu bahagian jantung sahaja atau pada kedua-dua bahagian jantung pada masa yang sama.\nPada 3 November lalu, program bual bicara dengan tajuk Cakna Sihat: Jantung Bengkak telah bersiaran secara langsung dalam Rancangan Selamat Pagi Malaysia di saluran TV1 yang menampilkan Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Pakar Kardiologi Klinikal UITM Private Specialist Centre (UPSC), Dr. Huzairi Sani yang membincangkan punca, gejala dan langkah untuk merawat jantung bengkak.\nDalam perbincangan tersebut, Dr. Huzairi Sani telah mengupaskan definisi perkataan jantung dan bengkak dalam konteks penyakit jantung bengkak. Secara umumnya, definisi jantung menurut Kamus Dewan Edisi Keempat merupakan organ berotot yang mengepam darah ke seluruh badan. Selain itu, jantung diumpamakan sebagai enjin dalam organ manusia yang mengepamkan darah kepada organ lain.\nJantung bengkak adalah bersifat tidak normal. Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan jantung bengkak dengan gejala yang berbeza. Individu yang menghidap penyakit jantung bengkak pada peringkat awal tidak menunjukkan sebarang gejala walaupun pesakit yang mengalami jantung bengkak telah menjalani pemeriksaan awal.\nNamun begitu, gejala bagi jantung bengkak yang boleh diperhatikan adalah seperti keletihan, sesak nafas, kesukaran untuk tidur, kaki bengkak, selain hilang tumpuan pada pembelajaran dan kerja. Antara langkah awal yang boleh dilakukan untuk mengelakkan pesakit mengalami jantung bengkak ialah dengan melakukan pemeriksaan awal pada jantung seperti menggunakan elektrokardiogram (ECG) untuk mengesan aktiviti elektrik pada jantung. Selain itu, doktor juga akan melakukan pemeriksaan X-ray pada bahagian dada untuk melihat struktur jantung yang bengkak.\nPada dasarnya, penyakit jantung bengkak yang menyerang bayi dan golongan dewasa bukan disebabkan oleh faktor genetik. Selain itu, faktor persekitaran, cara pemakanan, gaya hidup, obesiti, pengambilan minuman keras dan narkotik menyebabkan berlakunya risiko jantung bengkak dan kegagalan jantung.\nPemeriksaan diagnosis merupakan langkah pencegahan terbaik daripada merawat masalah jantung bengkak. Oleh sebab itu, pesakit yang menghidap jantung bengkak perlu sentiasa mendapatkan rawatan dan nasihat daripada doktor pakar. Rawatan bagi jantung bengkak juga diberikan berdasarkan penjagaan pesakit oleh keluarga, penjagaan kesihatan secara inklusif, gaya hidup dan pengambilan ubat-ubatan mengikut dos yang ditetapkan.\nPesakit jantung bengkak juga tidak boleh mengambil suplemen dan disarankan untuk tidak mengurut dada. Sekiranya pesakit yang mempunyai masalah jantung bengkak lambat menjalani saringan, hal tersebut akan menyebabkan pesakit tersebut menerima pelbagai risiko. Jantung bengkak menyebabkan otot semakin menipis dan injap berisiko untuk bocor. Pesakit jantung bengkak juga tidak boleh berjalan dan berlari dengan laju disebabkan oleh faktor tekanan dan aliran darah jantung yang bersifat tidak normal.\nPesakit yang mengalami jantung bengkak perlu mengambil ubat-ubatan pada masa yang ditetapkan dan tidak dibenarkan untuk menghisap rokok. Menurut Dr. Huzairi Sani, kos rawatan bagi jantung bengkak adalah mahal. Penggunaan kaedah rawatan jantung bengkak adalah dengan memasukkan belon, wayar dan memasukkan dakwat untuk melihat salur darah dalam jantung yang bengkak adalah sempit atau tidak.\nSecara keseluruhannya, Dr. Huzairi Sani menegaskan bahawa pesakit jantung bengkak perlu mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang, selain mengambil makanan dengan kandungan karbohidrat dan protein yang sederhana. Jika pesakit jantung bengkak mengambil makanan secara berlebihan dan tidak menggunakan tenaga, hal tersebut akan menyebabkan lemak dan kolesterol bertambah dan seterusnya menjadi beban kepada jantung. Jika kandungan kolesterol di badan pesakit jantung bengkak adalah banyak, pesakit boleh mengambil ubat yang bersesuaian untuk mengelakkan risiko daripada berlakunya jantung bengkak.\nSelain itu, pesakit dengan jantung bengkak harus mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti bersenam, berpuasa dan melakukan aktiviti fizikal yang ringan seperti yoga.\u00a0 Jelaslah bahawa pesakit yang mengalami jantung bengkak perlu mendapatkan rawatan kesihatan dengan segera dan keadaan tersebut boleh dirawat sekiranya penyakit itu dikesan dengan lebih awal." "Cegah Diabetes Elak Komplikasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 \u201cPenghidap diabetes perlu mempunyai pengetahuan yang tepat mengenai penyakit diabetes agar mereka dapat menguruskan keadaan mereka dengan baik serta mengelakkan berlakunya komplikasi seperti penyakit jantung, buta dan kerosakan buah pinggang.\u201d\nDemikian titah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menghadiri program MAIPs Peduli Khas bersempena dengan Hari Diabetes Sedunia peringkat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri yang diadakan di Masjid Jamek, Kampung Binjal, Utan Aji, petang semalam.\nSambutan Hari Diabetes Sedunia diadakan pada 14 November setiap tahun. Pada tahun ini, sambutan Hari Diabetes Sedunia bertemakan \u201cAkses kepada Pendidikan Diabetes\u201d yang merupakan kesinambungan daripada tema beberapa tahun kebelakangan ini yang menjurus kepada penjagaan terhadap penghidap diabetes.\nAkses kepada rawatan ubat-ubatan, sokongan psikososial, pemantauan kendiri seperti pemantauan gula dalam darah serta akses kepada pemakanan sihat dan aktiviti fizikal amat penting dalam memastikan penghidap diabetes mampu menjalani kehidupan yang berkualiti.\nDalam program yang sama, DYTM Raja Muda Perlis yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM21 000 kepada 30 orang asnaf terpilih, masing-masing menerima RM700 setiap seorang dalam kalangan anak kariah masjid yang sama untuk diagihkan oleh amilnya, Encik Sharizan Abu.\nUntuk rekod, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 menganggarkan sebanyak 3.9 juta orang penduduk Malaysia (18.3 peratus) yang berumur 18 tahun dan ke atas menghidap penyakit diabetes. Data ini menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding dengan 11.2 peratus pada tahun 2011 dan 13.4 peratus pada tahun 2015. Daripada jumlah ini, dianggarkan satu daripada dua orang pesakit (50.0 peratus) tidak mengetahui bahawa mereka menghidap penyakit diabetes sehinggalah saringan gula dalam darah dilakukan.\nTurut hadir mengiringi baginda ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, YBrs. Dr. Ismuni Bohari." "Persediaan Masyarakat Menghadapi Musim Monsun Timur Laut\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada tahun lepas dan awal tahun ini, Malaysia dilanda banjir besar sehingga bukan sahaja memusnahkan banyak harta benda, malah mengorbankan berpuluh-puluh nyawa. Jika dahulu, banjir boleh dijangkakan yang lazimnya akan berlaku pada penghujung tahun di kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia sahaja. Kini, banjir boleh berlaku pada bila-bila masa dan di kawasan yang tidak pernah dilanda bencana ini.\nKeadaan ini disebabkan oleh perubahan iklim dunia yang ketara pada masa ini gara-gara sikap rakus manusia yang menodai bumi. Pada tahun ini, kerajaan melalui agensinya seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mengambil beberapa inisiatif awal bagi menghadapi bencana banjir yang terjadi ketika fasa peralihan dan musim monsun timur laut di negara ini.\nIklim di Malaysia dicirikan dengan dua rejim monsun, iaitu monsun barat daya yang bermula dari akhir Mei hingga September dan monsun timur laut pula berlaku dari November hingga Mac. Monsun barat daya menunjukkan cuaca yang lebih kering, manakala monsun timur laut pula membawa hujan lebat, terutamanya ke negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia, barat Sarawak dan timur Sabah.\nTempoh peralihan antara dua monsun ini dikenali sebagai fasa peralihan monsun. Berdasarkan laman web METMalaysia, musim monsun timur laut merupakan musim hujan utama di Malaysia kerana sistem cuaca monsun yang terbentuk bersama-sama luruan udara sejuk dari Siberia menghasilkan hujan lebat yang sering menyebabkan banjir besar di negeri pantai timur Semenanjung Malaysia, iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur serta Sabah dan Sarawak.\nPada tahun ini, METMalaysia meramalkan monsun timur laut atau dikenali juga sebagai musim tengkujuh dijangkakan terjadi lebih awal, yakni bermula dari 7 November 2022 dan akan berterusan hingga Mac 2023. Menurut kenyataan daripada Ketua Pengarah METMalaysia, Encik Muhammad Helmi Abdullah, keadaan itu dijangkakan menyebabkan negara ini menyaksikan empat hingga enam episod luruan monsun yang membawa hujan lebat berterusan dan berpotensi berlaku sepanjang tempoh ini.\nHujan lebat yang berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan rendah dan kawasan yang berhampiran dengan sungai. Risiko banjir semakin meningkat sekiranya keadaan tersebut berlaku secara serentak dengan kejadian air pasang. Selain itu, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang semasa musim ini juga boleh menyebabkan laut bergelora dan ombak besar berlaku di perairan Laut China Selatan.\nSelain persediaan yang dilakukan oleh kerajaan, masyarakat juga perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan bagi menghadapi musim tengkujuh. Persediaan ini sedikit sebanyak boleh meminimumkan kesan banjir selain mengurangkan kematian. Terdapat tiga jenis persediaan yang boleh dilakukan oleh masyarakat, iaitu persediaan sebelum banjir, semasa banjir dan selepas banjir.\nMasyarakat perlu sentiasa cakna akan perubahan iklim di kawasan tempat tinggal masing-masing. Dalam dunia teknologi yang serba canggih kini, masyarakat boleh mengetahui maklumat terkini dan sahih secara dalam talian melalui laman web dan portal seperti ramalan cuaca melalui myMETdata, pemantauan hujan dan aras air sungai melalui aplikasi MyPublicInfoBanjir serta ramalan air pasang surut melalui laman web Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).\nPortal myMETdata merupakan portal yang baru sahaja dilancarkan yang menyediakan pelbagai data meteorologi termasuklah data pencerapan cuaca seperti hujan, suhu udara, kelembapan relatif dan angin serta data pencerapan alam sekitar seperti hujan asid, aerosol dan zarah terampai bagi stesen terpilih juga.\nDi samping itu, masyarakat juga perlu menyediakan pelan pemindahan selain mengetahui lokasi pusat pemindahan sementara (PPS) dan pusat bantuan bencana di kawasan masing-masing agar jika berlaku keadaan yang mendesak, masyarakat tidak cemas dan dapat menyelamatkan diri dan ahli keluarga dengan segera. Bukan itu sahaja, masyarakat juga perlu memeriksa lubang air seperti longkang atau saliran najis dan membersihkan segala halangan serta memastikan lubang sentiasa tertutup rapat supaya air banjir tidak memasukinya.\nSeterusnya, setiap isi rumah juga perlu menyediakan beg kecemasan yang mengandungi barang penting seperti pakaian, kasut, selimut, wisel, wang, lampu suluh dan bateri, makanan tahan lama, kit kecemasan yang mengandungi ubat-ubatan dan kebersihan diri, minuman, telefon bimbit dan dokumen penting seperti sijil kelahiran, kad pengenalan dan dokumen mustahak yang lain.\nSemasa kejadian banjir berlaku, ahli keluarga yang lebih dewasa perlu mengawasi kanak-kanak agar mereka tidak bermain dengan air banjir kerana boleh mengundang bahaya atau meragut nyawa mereka. Jika terdapat risiko banjir kilat di kawasan masing-masing, sila berpindah ke kawasan yang selamat dan jangan kembali ke rumah tanpa arahan daripada pihak berkuasa.\nSememangnya terdapat banyak keluhan daripada pihak berkuasa yang memaklumkan terdapat segelintir mangsa banjir yang enggan berpindah walaupun telah dipujuk berulang kali. Bagi mereka yang tidak berpindah, elakkan menyentuh barangan elektronik dan sentiasa mengikuti perkembangan keadaan banjir dari semasa ke semasa.\nBanjir bukan sahaja membahayakan keselamatan, malah kesihatan mangsa banjir juga terjejas kerana banjir akan menyebabkan sampah-sarap dan lumpur takungan najis keluar bersama-sama limpahan air yang tercemar sehingga membawa pelbagai jenis penyakit bawaan air.\nMenurut Pensyarah dan Pakar Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, YBrs. Profesor Madya Dr. Wan Mohd Zahiruddin Wan Mohammad, terdapat pelbagai jenis kuman seperti bakteria, virus dan parasit yang boleh menyebabkan penyakit bawaan air dan makanan. Kuman boleh tersebar secara langsung sama ada dengan cara termakan atau terminum sumber makanan dan minuman yang sudah tercemar dengan najis manusia dan haiwan dijangkiti serta persekitaran kotor dengan kehadiran lalat, lipas dan tikus. Mangsa banjir perlu memastikan minuman atau air yang digunakan untuk memasak adalah bersih.\nOleh yang demikian, masyarakat perlu bersedia sebelum, semasa dan selepas berakhirnya bencana banjir tersebut. Bagi mangsa yang berada di pusat pemindahan, mangsa dinasihatkan agar tidak pulang ke rumah sebelum dibenarkan oleh pihak berkuasa. Pada masa yang sama, mangsa boleh memerhatikan kawasan kejiranan dan memberikan bantuan kepada jiran yang terdiri daripada orang tua, kanak-kanak ataupun orang kurang upaya.\nSemasa memasuki rumah, mangsa perlu berhati-hati kerana banyak bahaya yang tersembunyi seperti binatang berbisa dan memeriksa dengan teliti segenap ruang rumah jika terdapat tanda rekahan atau mendapan bagi memastikan keselamatan seluruh isi rumah.\nWalaupun seseorang itu telah mengambil pelbagai langkah untuk menghadapi bencana banjir semasa musim monsun timur laut ini, namun sedikit sebanyak bencana ini sudah tentunya akan memberikan kesan psikologi kepada mereka yang menjadi mangsa banjir. Pakar Perunding Psikiatri dan Pengarah Pusat Kecemerlangan Klinikal Management and Science University, Profesor Dr. Muhammad Najib Mohamad Alwi menyatakan bahawa reaksi psikologi kepada musibah di luar jangkaan ini amat bergantung pada tahap ketegaran psikologi individu dan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana.\nOleh itu, untuk mengurangkan kesan emosi yang kurang baik, masyarakat perlu lebih bersedia dengan mengambil langkah persediaan sebelum berlakunya banjir. Jika dahulu, isu psikologi kurang diberikan perhatian, namun masyarakat kini semakin cakna. Bahkan, kerajaan juga melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terus mengambil serius akan hal ini. Menurut Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin, KKM akan menyediakan 462 orang pakar kesihatan dan pasukan kesihatan mental serta sokongan di PPS sebagai persiapan dalam menghadapi banjir.\nPada tahun 2015, Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah menyeru kepada pelbagai pihak untuk bekerjasama dalam menguruskan dan mengatasi kesihatan awam dengan merancang dan merangka program bersifat pencegahan dan kesedaran, pendidikan kesihatan dan intervensi bagi memperkukuh strategi daya tindak dan daya tahan dalam usaha meningkatkan kesihatan mental dalam kalangan mangsa banjir.\nHal ini jelas menunjukkan bahawa isu psikologi dan kesihatan mental dalam kalangan mangsa banjir tidak harus dipandang enteng kerana mereka mungkin mengalami trauma akibat kehilangan ahli keluarga dan kemusnahan harta benda. Jadi, para kaunselor terlatih dan sukarelawan yang terlibat perlu mempunyai kemahiran agar mangsa banjir ini bukan sahaja diberikan bantuan secara fizikal, malah menerima bantuan dari aspek emosi kerana kebimbangan melampau dan kemurungan boleh menjejaskan kesejahteraan psikologi mereka.\nTuntasnya, perubahan iklim ketara yang berlaku di seluruh dunia termasuklah Malaysia mendorong setiap individu untuk terus cakna, terutamanya semasa musim monsun timur laut berlaku. Pengalaman pada hujung tahun lalu dan awal tahun ini perlu dijadikan sebagai pengajaran. Masyarakat di kawasan yang sering dilanda banjir perlu bersedia dengan melakukan persiapan rapi agar tahap emosi mereka kurang terkesan akibat bencana banjir ini. Gunakanlah kemudahan teknologi yang ada untuk mengetahui segala perkembangan berkaitan dengan iklim di kawasan masing-masing. Bencana alam mungkin tidak berlaku jika setiap individu memainkan peranan masing-masing dalam melestarikan alam sekitar." "Konjak Jeli: Risiko Bahaya Tercekik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Isu produk konjak jeli yang tular di media sosial didakwa berbahaya dan boleh memberikan risiko kepada kanak-kanak. Sejak tahun 2001, isu ini telah menjadi perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana terdapat laporan penjualan konjak jeli yang boleh mengakibatkan kanak-kanak tercekik apabila memakannya.\nKonjak ialah sejenis tumbuhan yang tinggi dengan kandungan serat dan dikenali sebagai glukomanan. Industri yang berkaitan menggunakan bahan tambahan makanan tersebut yang berfungsi sebagai bahan pemekat dalam penghasilan jeli. Di Malaysia, penambahan konjak bagi produk jeli adalah dibenarkan berdasarkan saiz jeli yang dihasilkan.\nFaktor seperti mempunyai tekstur yang kenyal, tidak mudah larut di dalam mulut dan sukar ditelan menyebabkan produk konjak jeli ini dikawal dengan menetapkan saiz dan amaran dilekatkan pada label produk. Produk ini dikawal di bawah Peraturan 139 (konfeksi sajian) dan Peraturan 139 A (konfeksi jeli terkawal).\nPeraturan 139 memperuntukkan jeli dengan diameter melebihi 45 milimeter dan boleh mengandungi konjak, manakala Peraturan 139 A memperuntukkan jeli dengan diameter kurang atau sama dengan 45 milimeter dan tidak boleh mengandungi konjak.\nBerdasarkan data pemantauan yang dilaksanakan oleh KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) dari tahun 2018 hingga kini, sebanyak 649 produk jeli telah disampel dan 352 produk daripadanya merupakan produk konjak jeli. Enam sampel produk jeli telah dikesan tidak mematuhi peraturan makanan 139 A dan telah dikenakan tindakan penarikan balik produk oleh KKM.\nOleh yang demikian, ibu bapa dinasihatkan agar sentiasa memantau pengambilan produk konjak jeli oleh anak-anak bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. KKM juga menyeru orang ramai agar memaklumkan sebarang maklumat berkaitan dengan penjualan konjak jeli kepada Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri yang berhampiran atau melalui laman sesawang aduan awam KKM (http://moh.spab.gov.my) atau Facebook rasmi BKKM (http://www.facebook.com/bkkmhq)." "Kesihatan Mental Masyarakat Semakin Membimbangkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Masyarakat Malaysia hari ini semakin terbuka berbincang mengenai masalah kesihatan mental tetapi masih ada segelintir daripada masyarakat yang mempunyai persepsi negatif terhadap isu ini. Oleh itu, bersempena dengan program Dekad Membaca Kebangsaan peringkat pertubuhan bukan kerajaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Universiti Selangor (UNISEL), Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) dan Yayasan ZuriatCARE menganjurkan sebuah forum yang bertajuk \u201cKesihatan Mental: Antara Persepsi dengan Realiti\u201d.\nPenulis dan aktivis merangkap Pengasas Mayer-Rokitansky-K\u00fcster-Hauser (MRKH) Malaysia, Puan Wani Ardy sebagai ahli panel pertama forum membuka perbincangan dengan menyebut sebagai seorang daripada penghidap sindrom MRKH, beliau juga tidak terkecuali mengalami masalah kemurungan selain masalah kesihatan yang lain. Beliau memilih untuk meluahkan perasaan dan ketidakyakinannya melalui setiap karyanya di samping memperjuangkan dan berkongsikan penyakit ini dengan masyarakat.\nProses untuk menerima takdir tersebut mengambil masa yang panjang tetapi mungkin sudah terbiasa dengan didikan ayah untuk sentiasa bersangka baik dengan takdir Allah SWT menyebabkan saya mampu menerimanya dengan lebih mudah. Pada mulanya, saya percaya bahawa penyelesaian untuk setiap masalah ialah kita seharusnya menjadi kuat tetapi sebenarnya tindakan ini adalah salah. Hal ini dikatakan demikian kerana kita tidak wajib untuk kuat sepanjang masa. Ada kalanya, kita perlu merangkul dan tidak menafikan perasaan sedih dalam diri ini.\nTambah beliau lagi, melalui pembacaan buku yang berkaitan dengan cara membantu diri, sedikit sebanyak telah membantu dirinya untuk menghadapi saat getir dalam hidupnya. Pembacaan dan penulisan beliau juga telah membantu dirinya untuk meluahkan segala perasaan dan sangat berguna untuk memproses segala emosi negatif dalam dirinya.\nSementara itu, Pengarah Urusan Rumah Ripta, Encik Mosyuki Borhan selaku ahli panel kedua membuka bicaranya dengan menyatakan sepanjang usianya, beliau merasakan tidak mempunyai masalah berkaitan dengan kesihatan mental sehinggalah kematian adiknya. Beliau tidak mampu berkelakuan seperti sediakala dalam tempoh jangka masa yang sangat panjang sehingga menemukan bahawa Islam juga mempunyai cara untuk menjaga kesihatan mental dari segi rohani dan spiritual. Oleh itu, beliau memilih untuk menambahkan ilmu dalam diri melalui pembacaan.\nPenerbitan buku, terutamanya buku yang berkonsepkan luahan hati bukan sahaja boleh membantu diri penulis itu, malah mampu membantu orang lain kerana para pembaca dapat bangkit daripada masalah yang dihadapi.\nSebelum mengakhiri perkongsiannya, beliau menyatakan bahawa pelbagai genre pembacaan boleh dipilih untuk membantu seseorang itu menyelesaikan masalah yang dihadapi kerana ada kalanya kita akan memperoleh inspirasi daripada penulisan tersebut.\nSeterusnya, ahli panel ketiga pula merupakan Pakar Psikiatri Hospital Shah Alam, YBrs. Dr. Syuhaida Abdul Razak berkongsikan pendapatnya tentang masalah kesihatan mental dalam masyarakat sebenarnya sangat membimbangkan kerana kini bukan sahaja banyak remaja, malah golongan kanak-kanak juga mengalami masalah tersebut. Kebanyakan kaum lelaki mengalami masalah personaliti berpecah (split personality) kerana sering memendam emosi dan tidak mahu berada dalam situasi stres. Berbeza pula dengan kaum wanita yang lebih banyak mengalami kebimbangan kerana wanita suka bercerita dan meluahkan perasaan mereka.\nSeseorang itu akan disahkan menghidap penyakit mental apabila telah didiagnosis oleh Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition (DSM-5). Penyakit mental juga sama sebagaimana penyakit lain yang perlu mendapatkan rawatan seawal mungkin. Namun begitu, kebanyakan masyarakat lewat mendapatkan rawatan awal kerana mempercayai bahawa penyakit ini adalah perbuatan jin dan mendapatkan khidmat nasihat daripada bomoh atau ustaz terlebih dahulu sehingga keadaan pesakit menjadi semakin serius.\nJelas beliau lagi, walaupun terdapat pihak yang menyatakan generasi yang lahir pada tahun 1995 hingga tahun 2010 merupakan generasi strawberi yang digambarkan tidak kuat untuk menghadapi segala cabaran tetapi pandangan itu adalah tidak tepat. Masalah kesihatan mental ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja kerana banyak faktor mengakibatkan masalah ini berlaku ekoran daripada pendidikan dan persekitaran yang berbeza.\nSeorang pakar psikiatri juga boleh mempunyai masalah kesihatan mental kerana selagi bergelar manusia, kita tidak akan terlepas daripada mempunyai emosi yang negatif. Pakar psikiatri sebenarnya lebih cenderung menghidapi masalah mental kerana sentiasa menerima emosi negatif daripada pesakit dan perlu memberikan emosi positif mereka kepada pesakit. Pesakit mental memerlukan ubat dan rawatan yang bersesuaian bagi merawat masalah kesihatan tersebut.\nForum yang berlangsung selama hampir dua jam ini sangat menarik dan padat dengan pelbagai perkongsian. Ketiga-tiga ahli panel berkongsikan isu serius ini secara santai dan penuh bersemangat, sementara Pengerusi Yayasan ZuriatCARE, Puan Alia Ali pula begitu bijak dalam mengemudikan perjalanan forum tersebut. Rakaman forum ini boleh ditonton secara dalam talian melalui Facebook rasmi DBP." "Raja Muda Perlis Berkenan Meninjau Projek Klinik Kesihatan Padang Besar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPadang Besar \u2013 Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat meninjau status terkini pembangunan Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) dan Kuarters 2F/2G Padang Besar petang semalam.\u00a0\nKeberangkatan baginda adalah bersempena dengan program Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan ke-77 bagi Tahun 2022. DYTM Raja Muda Perlis turut berkenan menyantuni dan menyerahkan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada tiga buah rumah milik keluarga asnaf terpilih, iaitu Encik Baharom Hamdan (70 tahun), Encik Salleh Che Fa (73 tahun) dan Encik Osman Daud (75 tahun) yang kesemuanya tinggal di Felda Mata Air, Padang Besar (Utara).\nKlinik baharu yang dijangkakan siap pada 11 Februari 2023 itu dibina di atas tanah yang berkeluasan 1765.22 meter persegi di atas Lot PT8385 Padang Besar, Perlis. Pembinaan klinik ini merangkumi klinik kesihatan jenis teja dua tingkat yang mempunyai klinik pesakit luar, klinik ibu mengandung, klinik pergigian, bilik X-ray dan kecemasan.\nKlinik ini juga mampu menampung bilangan pesakit antara 300 orang hingga 400 orang dalam satu hari. Selain itu, terdapat empat unit kuarters disediakan untuk kakitangan kesihatan klinik tersebut.\nTurut hadir mengiringi baginda ke lokasi projek yang sudah 82 peratus siap itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato\u2019 Wira Wan Ahmad Uzir Haji Wan Sulaiman." "Gombak-Hulu Langat Geopark dan Stong Geopark Diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGombak \u2013 Kawasan Gombak-Hulu Langat Geopark dan Stong Geopark telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan yang ketujuh dan kelapan di bawah Program Pembangunan Geopark oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA). Pengiktirafan ini telah dibuat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan Bilangan Dua Tahun 2022.\nMenurut KeTSA, pengiktirafan ini antara pencapaian yang penting, khususnya kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memelihara kelestarian alam semula jadi dan pengurusan mampan kawasan Geopark Kebangsaan yang memiliki nilai kepentingan luar biasa seiring dengan Agenda Pembangunan Nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.\nKementerian yakin kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri dapat memastikan Geopark diuruskan dengan baik dan mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama di kawasan yang mempunyai kepentingan geologi bagi tujuan penyelidikan saintifik, pendidikan, penjanaan ekonomi penduduk setempat dan pembangunan mampan.\nGombak-Hulu Langat Geopark yang berkeluasan 1129.55 kilometer persegi ini meliputi seluruh daerah Gombak (empat mukim) dan daerah Hulu Langat (dua mukim) dengan bilangan penduduk melebihi 1.5 juta orang. Geopark ini juga kaya dengan kepelbagaian geologi (31 geotapak), kepelbagaian biologi (enam biotapak) dan keunikan budaya tempatan (11 tapak budaya). Daripada 31 geotapak ini, terdapat lima geotapak yang mempunyai nilai kepentingan bertaraf antarabangsa, 20 geotapak mempunyai nilai kepentingan bertaraf kebangsaan dan enam geotapak mempunyai nilai kepentingan bertaraf tempatan.\nKeistimewaan kawasan ini adalah disebabkan oleh kewujudan permatang kuarza terpanjang di Asia Tenggara yang dikenali sebagai Permatang Kuarza Gombak. Landskap pergunungan yang dihiasi dengan air terjun dan jeram turut menjadi satu daripada keistimewaan kawasan ini. Di sini juga terdapat Sesar Kuala Lumpur dan pembentukan beberapa lembangan daratan termasuklah lembangan di Batu Arang.\nSelain itu, pengunjung berpeluang untuk melihat kepelbagaian batuan dan fosil seperti formasi Batu Kapur Kuala Lumpur Bukit Taikun, kepelbagaian rupa bumi tabii seperti Air Terjun Templer, kepelbagaian proses geologi seperti Kompleks Air Panas Dusun Tua serta kepelbagaian rupa bumi antropogenik seperti bekas lombong arang batu.\nStong Geopark pula berkeluasan 2131.99 kilometer persegi meliputi daerah Kuala Balah, daerah Batu Melintang dan daerah Jeli dalam jajahan Jeli serta daerah Dabong dalam jajahan Kuala Krai dengan bilangan penduduk lebih kurang 110 000 orang. Geopark ini kaya dengan kepelbagaian geologi (25 geotapak), kepelbagaian biologi (tujuh biotapak) dan budaya tempatan (16 tapak budaya), Daripada 25 geotapak, empat daripadanya mempunyai nilai kepentingan bertaraf antarabangsa, 11 geotapak mempunyai nilai kepentingan bertaraf kebangsaan dan 10 geotapak mempunyai nilai kepentingan bertaraf tempatan.\nKawasan Stong Geopark merangkumi 58 peratus kawasan hutan, 37 peratus kawasan pertanian dan selebihnya ialah kawasan penempatan, industri dan kemudahan infrastruktur masyarakat. Pengunjung boleh melihat pelbagai bentuk muka bumi, misalnya batuan igneus Kompleks Migmatit Stong, landskap kars serta air terjun termasuklah Air Terjun Jelawang yang merupakan air terjun tertinggi di Asia Tenggara.\nKepelbagaian biologi dengan spesies endemik seperti buluh (Holttumochloa pubescens) dan palma kipas (Licuala stongensis), warisan budaya masyarakat orang asli dan kampung lama, kesan sejarah tinggalan penjajah serta fenomena \u201cTrain to Dabong\u201d menjadi daya tarikan Stong Geopark kepada pelancong untuk mengunjungi kawasan tersebut.\nSemasa penilaian Stong Geopark dijalankan oleh pasukan daripada Jawatankuasa Pelaksana Geopark, beberapa artifak seperti cangkerang dan serpihan tembikar yang dipercayai berusia antara 1000 tahun hingga 5000 tahun telah ditemukan di Gua Keris, Geotapak Kompleks Gua Ikan, Dabong. Oleh itu, kajian arkeologi secara terperinci perlu dijalankan untuk menentukan nilai warisan arkeologi yang terdapat di tapak tersebut.\nPengiktirafan ini ialah pengiktirafan Geopark Kebangsaan yang ketujuh dan kelapan selepas Lembah Kinta dan Lenggong Geopark di Perak; Jerai Geopark di Kedah; Kinabalu Geopark di Sabah; Labuan Geopark di Wilayah Persekutuan Labuan; dan Sarawak Delta Geopark di Sarawak." "Spesies Asing Invasif Ancaman Khazanah Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMalaysia adalah antara 17 buah negara yang kaya dengan biodiversiti. Namun begitu,\u00a0 khazanah alam ini boleh terancam sekiranya isu spesies asing invasif (IAS) tidak dibendung. Menyedari akan hal ini, Jawatankuasa Spesies Asing Berbahaya Kebangsaan telah ditubuhkan pada tahun 2016 yang diterajui oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA). Tujuan jawatankuasa ini ditubuhkan adalah untuk menguruskan, menyelaraskan dan menangani semua isu berkenaan dengan IAS di Malaysia.\nIAS ialah spesies haiwan, tumbuh-tumbuhan atau mikroorganisma yang tersebar di luar kawasan sebaran semula jadi dan berpotensi memberikan impak negatif kepada keseimbangan dan fungsi ekosistem, kepelbagaian biologi dan kesihatan manusia.\nAntara sektor utama yang mempunyai risiko kemasukan IAS ialah sektor pertanian dan perhutanan, sektor haiwan dan penyakit bawaan haiwan serta sektor perikanan dan marin. Pada tahun 2021, Jawatankuasa Induk IAS Kebangsaan telah membuat penambahbaikan dengan membangunkan tiga lagi jawatankuasa teknikal, iaitu Jawatankuasa Teknikal IAS Pertanian dan Perhutanan, Jawatankuasa Teknikal IAS Haiwan dan Penyakit Bawaan Haiwan dan Jawatankuasa Teknikal IAS Akuatik.\nIAS memberikan ancaman kepada persekitaran, kesihatan haiwan, ekonomi dan kesihatan manusia. Kemasukan IAS ke sesebuah negara juga boleh membawa kemungkinan mutasi kepada penyakit lain. Selain itu, IAS juga akan menyebabkan kematian haiwan. Ekonomi penternak juga turut terjejas sekali gus hal ini merugikan negara. Manusia juga berisiko terancam kerana penyakit haiwan boleh berjangkit kepada manusia, misalnya penyakit nipah yang berleluasa pada tahun 1998.\nOleh yang demikian, langkah kawalan pencegahan bagi masalah ini perlu dilakukan dengan segera melalui kawalan pintu masuk negara, pengurusan indeks penyakit, program survelan penyakit kebangsaan, program latihan dan kempen kesedaran penyakit. Program simulasi penyakit dilaksanakan pada setiap tahun agar pihak kerajaan sentiasa bersedia mengatasi masalah ini dari segi kompetensi.\nMalaysia pernah mengalami beberapa serangan penyakit haiwan seperti penyakit kulit berketul (LSD). Berikutan keadaan ini, kerajaan mengambil inisiatif bagi mencegah penyakit tersebut dengan pengambilan vaksin. Selepas program pemvaksinan intensif dilakukan, kadar penyakit LSD berjaya dikurangkan. LSD telah menyebabkan ratusan haiwan terpaksa dilupuskan sekali gus mengakibatkan kerugian kepada penternak dan kerajaan.\nSelain itu, suatu spesies itu dianggap invasif apabila mampu membiak dan merebak sehingga menjejaskan keseimbangan ekosistem dan menjejaskan populasi organisma asal di habitatnya. Antara IAS akuatik termasuklah ikan sepat Siam, ikan lampam Jawa, ikan kepala besar, ikan baung ekor merah Amazon, ikan baung ekor merah Mekong dan ikan bongkok.\nIkan baung merah yang berasal dari lembangan Sungai Mekong memakan ikan tempatan tanpa mengira saiz dan merosakkan rantaian makanan, sama seperti udang kara air tawar yang berasal dari Australia. Ikan merak (peacock bass) turut memakan benih ikan dan menguasai sumber makanan serta habitat lain. Punca utama ikan yang berasal dari Amerika Selatan ini terlepas ke habitat liar adalah disebabkan oleh sikap sesetengah pemancing yang melepaskannya demi hobi.\nKemasukan IAS akuatik adalah sama ada secara sengaja ataupun secara tidak sengaja. IAS merupakan ancaman kedua terbesar terhadap kepelbagaian biodiversiti, yakni selepas kemusnahan habitat dan menyebabkan kerugian, terutamanya dari segi ekonomi. Aktiviti manusia merupakan punca utama kemasukan IAS yang mengakibatkan kebanyakan ekosistem tidak dapat dipulihkan kembali.\nJabatan Perikanan telah menyediakan senarai ikan larangan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan 1990 Pindaan 2011. Ikan asing invasif akan melalui penilaian ringkas melalui Carta Kunci Penyisihan Matrik Spesies Ikan Invasif. Pengelasan carta kunci adalah melalui kod warna yang telah ditetapkan. Jabatan Perikanan turut melaksanakan sistem penilaian ikan asing invasif melalui e-Permit, yakni setiap permohonan ikan asing invasif perlu melalui sistem tersebut dan dikawal dengan ketat oleh Jabatan Perikanan.\nUntuk perancangan pada masa hadapan, Jabatan Perikanan bercadang untuk bekerjasama dengan Centre for Environment, Fisheries and Aquaculture (CEFAS), iaitu sebuah organisasi di United Kingdom untuk menggunakan penilaian AS-ISK-CEFAS bagi menilai sesuatu spesies sama ada asing invasif (invasive alien) atau asing (alien) sahaja. Dari segi penguatkuasaan ikan larangan, Bahagian Konservasi dan Perlindungan Perikanan telah melakukan pemantauan kesedaran ikan larangan bagi tujuan mendidik sebelum melakukan penguatkuasaan dan sitaan.\nHingga November 2022, sebanyak 16 kes telah direkodkan yang melibatkan kes sitaan ikan larangan. Penambahbaikan berterusan perlu dilakukan agar ekosistem perairan di negara ini dapat dijaga dengan sebaik-baiknya.\nDalam sektor pertanian pula, IAS boleh tersebar melalui tiga cara, iaitu secara sengaja (pengimportan tumbuh-tumbuhan eksotik sebagai hobi, pengimportan untuk tujuan ekonomi, penyeludupan bahan tanaman serta dijadikan sebagai agen kawalan biologi), tidak sengaja (dibawa bersama-sama komoditi perladangan, pergerakan pelancong, bagasi, pakaian, peralatan, jentera dan kenderaan yang tidak dibersihkan dengan baik) serta secara semula jadi (migrasi haiwan, bencana alam dan perubahan iklim).\nDi samping itu, IAS juga menyebabkan kehilangan hasil pertanian, misalnya buah padi reput akibat serangan bakteria yang dikenali sebagai bacterial panicle blight. Kemerosotan kualiti suatu hasil pertanian juga antara impak negatif IAS. Sebagai contohnya, serangan kumbang pengorek biji yang menjejaskan kualiti mangga.\nSelain itu, penularan IAS juga mengakibatkan peningkatan kos seperti penggunaan penyemburan udara bagi mengawal serangan ulat ratus pada jagung. IAS juga secara tidak langsung menjadikan keluasan kawasan pertanian semakin berkurangan, menjejaskan produktiviti tanaman dan memerlukan penyelenggaraan infrastruktur yang kerap.\nJabatan Pertanian Malaysia telah menyenaraikan 57 jenis IAS yang berpotensi menjejaskan sektor pertanian di negara ini. Antaranya termasuklah kumbang merah palma yang telah menyerang pelbagai tanaman palma. Serangan ini pertama kalinya ditemukan pada tahun 2005 di Pengkalan Chepa, Kelantan. IAS ini juga telah menyebabkan kerosakan lebih daripada 465 hektar tanaman kelapa di Terengganu dan Kedah.\nSementara itu, penyakit mati rosot betik turut mengakibatkan kerugian yang besar sepanjang tahun 2003 hingga tahun 2005. Pada masa yang sama, penyakit hawa bulir bakteria dan siput gondang pomacea telah menyerang tanaman padi. Rumpai parthenium pula boleh menyebabkan tindak balas alergi kepada manusia dan haiwan ternakan, manakala rumpai salvinia menjejaskan sistem pengairan atau saliran dan pengangkutan air.\nBeberapa langkah yang dilakukan untuk mengatasi masalah ini termasuklah penggunaan perangkap feromon, rawatan secara suntikan batang dan penebangan pokok kelapa bagi kes yang serius. Selain itu, Pelan Tindakan Kebangsaan Spesies Asing Invasif 2021-2025 juga mampu mengukuhkan kefahaman dan kesedaran umum berkenaan dengan IAS. Pihak yang berkaitan juga perlu menjalankan penilaian risiko terhadap spesies eksotik sebelum dibenarkan masuk ke Malaysia serta memperkasakan pemeriksaan kuarantin dan penguatkuasaan di pintu masuk dan sempadan antarabangsa.\nSebagai kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama dalam menangani isu IAS. Jika masalah ini tidak dibendung dengan segera, hal ini dikhuatiri akan memberikan kesan yang teruk kepada kesihatan manusia, haiwan, tanaman dan ekonomi negara." "Antara Untuk dengan Bagi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata untuk dan kata bagi tergolong sebagai kata tugas, iaitu golongan kata yang heterogen dan menjalankan tugas tatabahasa dalam ayat. Secara sekali imbas, kedua-dua kata tugas ini seolah-olah sama namun hakikatnya lebih rumit daripada yang disangka.\nKata untuk dan kata bagi dapat berfungsi sebagai kata hubung keterangan tujuan, iaitu kata hubung yang menghubungkan klausa bebas dengan klausa subordinat yang merupakan klausa keterangan tujuan. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a.\u00a0 Ali berusaha untuk berjaya.\n1b.\u00a0 Ali berusaha bagi berjaya.\nDalam ayat 1a dan 1b di atas, terdapat klausa bebas Ali berusaha, dengan subjek Ali dan predikat kata kerja berusaha. Selain itu, terdapat klausa keterangan tujuan untuk berjaya atau bagi berjaya yang meliputi kata hubung keterangan tujuan untuk atau bagi, subjek Ali yang digugurkan dan predikat kata kerja berjaya. Oleh itu, kata untuk dan kata bagi dapat digunakan secara bertukar ganti dalam ayat kelompok 1.\nKata untuk dapat berfungsi sebagai kata hubung pancangan komplemen tetapi kata bagi tidak dapat berfungsi sedemikian. Dalam hal ini, klausa pancangan komplemen menjadi subjek ayat. Sila lihat contoh yang berikut:\n2a.\u00a0 Untuk Ali berjaya agak sukar.\n2b.\u00a0 *Bagi Ali berjaya agak sukar.\nSelain menjadi kata hubung, kata untuk dan kata bagi juga merupakan kata sendi nama. Dalam hal ini, kata untuk mendukung maksud \u201cbahagian yang ditentukan atau diperuntukkan\u201d, manakala kata bagi tidak dapat berfungsi sedemikian. Selain itu, kata untuk berada pada frasa sendi nama yang menjadi predikat ayat. Hal ini tetap benar jika ayat yang berkenaan disongsangkan atau diubah jenisnya kepada ayat tanya. Sila lihat contoh yang berikut:\n3a.\u00a0 Hadiah ini untuk Ali.\n3b.\u00a0 Untuk Ali hadiah ini.\n4a.\u00a0 *Hadiah ini bagi Ali.\n4b.\u00a0 *Bagi Ali hadiah ini.\n5a.\u00a0 Untuk Alikah hadiah ini?\n5b.\u00a0 *Bagi Alikah hadiah ini?\nSendi nama untuk boleh menduduki pangkal sendi nama keterangan tetapi tidak begitu bagi kata bagi. Sebagai frasa sendi keterangan, frasa untuk Ali dapat dialihkan kedudukannya dalam ayat yang berkenaan. Sila lihat contoh yang berikut:\n6a.\u00a0 Hadiah ini dibeli untuk Ali.\n6b.\u00a0 Untuk Ali dibeli hadiah itu.\n7a.\u00a0 *Hadiah ini dibeli bagi Ali.\n7b.\u00a0 *Bagi Ali dibeli hadiah ini.\nJika kita membandingkan kelompok ayat 3, 4 dan 5 dengan kelompok ayat 6 atau 7, kita akan mendapati bahawa maksud \u201cbahagian yang ditentukan atau diperuntukkan\u201d cukup jelas pada sendi nama untuk dalam kelompok ayat 6 dan 7. Apabila kata kerja dibeli digugurkan, kita akan mendapati struktur dan maksud ayat yang berkaitan tetap sama.\nSebagai kata sendi nama, kata untuk dan bagi dapat hadir secara bervariasi dalam bahagian penerang ayat. Dalam hal ini, frasa sendi nama penerang untuk Ali atau bagi Ali boleh berada pada kedudukan subjek atau predikat ayat. Sila lihat contoh yang berikut:\n8a.\u00a0 Hadiah untuk Ali sudah dibeli.\n8b.\u00a0 Hadiah bagi Ali sudah dibeli.\n\u00a0\n9a.\u00a0 Dia sudah membeli hadiah untuk Ali.\n9b.\u00a0 Dia sudah membeli hadiah bagi Ali.\nDalam kelompok ayat 8 dan 9, frasa sendi nama untuk Ali dan bagi Ali merupakan frasa sendi nama penerang bagi kata nama hadiah yang menjadi inti frasa nama hadiah untuk Ali atau hadiah bagi Ali. Sebagai frasa sendi nama penerang, frasa untuk Ali dan bagi Ali tidak boleh dipisahkan dari inti frasa nama, iaitu hadiah. Oleh itu, seluruh frasa nama hadiah untuk Ali atau hadiah bagi Ali harus dialihkan kedudukannya bersama-sama. Sila lihat contoh yang berikut:\n10a.\u00a0 Sudah dibeli hadiah untuk Ali.\n10b.\u00a0 Sudah dibeli hadiah bagi Ali.\n11a.\u00a0 Sudah dibeli hadiah untuk Ali dia.\n11b.\u00a0 Sudah dibeli hadiah bagi Ali dia.\nSendi nama bagi dapat berpadanan dengan kata kerja seperti menurut dan mengikut. Hal ini tidak berlaku bagai sendi nama untuk. Keadaan yang sama tetap berlaku dalam ayat susunan biasa atau songsang. Sila lihat contoh yang berikut:\n12a.\u00a0 Bagi Ali, hal itu karut.\n12b.\u00a0 Menurut Ali, hal itu karut.\n12c.\u00a0 Mengikut Ali, hal itu karut.\n12d.\u00a0 Hal itu karut bagi Ali.\n13a.\u00a0 *Untuk Ali, hal itu karut.\n13b. *Hal itu karut untuk Ali.\n\u00a0\nKata untuk dapat ditambah imbuhan untuk menghasilkan kata terbitan dengan maksud yang pelbagai. Sila lihat contoh yang berikut:\n14a.\u00a0 Harta pusaka itu belum beruntuk.\n14b.\u00a0 Sudah teruntuk dividen bagi para pemegang saham syarikat itu.\n14c.\u00a0 Kerajaan memperuntukkan dana yang besar untuk projek itu.\n14d.\u00a0 Dia menguntukkan wang untuk membiayai persekolahan anaknya.\n14e.\u00a0 Peruntukan untuk bidang kesihatan tidak mencukupi.\nKata bagi tidak diberi berimbuhan dalam bahasa baku. Penambahan imbuhan hanya berlaku dalam bahasa percakapan atau bahasa basahan. Sila lihat contoh yang berikut:\n15a.\u00a0 *Dia tidak membagi saya untuk bercuti.\n15b.\u00a0 Dia tidak mengizinkan saya untuk bercuti.\n16a.\u00a0 *Mereka membagikan hasil tangkapan.\n16b.\u00a0 Mereka membahagikan hasil tangkapan." "UiTM Cawangan Perlis Hasilkan Projek Inovasi Rubberize Walkway dengan Kerjasama NT Rubber-Seals Sdn. Bhd.\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis melalui Sustainable Polymer Materials Research Interest Group (SuPMa) hari ini menganjurkan Majlis Perasmian Rubberize Walkway yang menggunakan HEALO di Perkarangan Makmal Getah, UiTM Cawangan Perlis.\nMajlis perasmian ini telah dirasmikan oleh Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi bersama-sama Pengarah NT Rubber-Seals Sdn. Bhd., Encik Katsutoyo Itoi.\nHEALO adalah lantai getah yang diperbuat daripada sisa getah monomer diena etilena propilena (EPDM) dan getah asli. Lantai ini adalah produk inovasi yang dapat melindungi alam sekitar dan memperkayakan sumber semula jadi.\nAtas rasa tanggungjawab dan kesedaran untuk menjadikan planet ini sebagai tempat yang lebih baik kepada generasi akan datang, pihak NT Rubber-Seals Sdn. Bhd. berbesar hati menyumbangkan sisa EPDM yang merupakan bahan utama bagi projek inovasi ini.\nKombinasi bahan dan formula yang unik menghasilkan HEALO dengan sifat yang lasak, kuat, daya tahan dengan penambahan sifat boleh diperbaik semula dengan bantuan haba. Hal ini memberikan kelebihan dalam memanjangkan servis penggunaan dan tentunya membantu dalam mengekalkan kesihatan dan kesejahteraan planet.\nAntara yang turut hadir dalam majlis ini ialah delegasi dari NT Rubber-Seals Sdn. Bhd. termasuklah Jabatan Sumber Manusia dan Pengurusan Am, Siti Hasmadiana Abdul Samat; Penolong Pegawai Keselamatan dan Persekitaran, Encik Jaafar Seleman Muhammad Zaim Zakaria; Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan Jaringan Industri Masyarakat dan Alumni, Ts. Gs. Dr. Ernieza Suhana Mokhtar; Ketua Pusat Pengajian, Fakulti Sains Gunaan, UiTM Perlis, Dr. Zuliahani Ahmad; dan beberapa orang pensyarah UiTM Cawangan Perlis.\nSelepas majlis tersebut, delegasi dari NT Rubber-Seals Sdn. Bhd. turut dibawa melawat bengkel getah dan plastik bagi program Teknologi Polimer di UiTM Cawangan Perlis.\nMelalui penganjuran majlis ini, diharapkan hubungan antara pihak universiti dengan pemain industri dapat terus diperkukuh dan mampu membuka ruang untuk pelbagai bentuk kerjasama yang lebih baik pada masa akan datang." "Inovasi Teras Transformasi Warga UiTM Cawangan Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis mengadakan Sambutan Hari Inovasi dan Penghargaan Staf Tahun 2022 di Dewan Seri Semarak, baru-baru ini.\nMajlis perasmian dan penyampaian anugerah bagi penerima anugerah mengikut kategori ini disampaikan oleh\u00a0Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi.\nDalam ucapan perasmiannya, YBrs. Rektor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua staf atas pencapaian yang cemerlang pada tahun 2021.\nTambah beliau lagi, warga kampus perlu bergerak seiring dalam menghasilkan kualiti kerja yang terbaik serta ciptaan inovasi yang berimpak tinggi demi merealisasikan visi dan misi yang digagaskan bersama.\nInovasi merupakan hasil cetusan idea yang kreatif dan inovatif dalam beberapa aspek kerja yang dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti kepada sesebuah organisasi. Hasil dari pelaksanaan idea inovasi ini akhirnya dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan terhadap UiTM itu sendiri.\nMenurutnya lagi, penganjuran majlis kali ini menjadi agenda penting dan menggambarkan komitmen UiTM Cawangan Perlis terhadap usaha menyemarakkan lagi budaya inovasi dan penekanan aspek kerja yang berkualiti dalam kalangan warga kampus.\nSambutan Hari Inovasi dan Penghargaan Staf Tahun 2022 ini juga menjadi platform untuk mengiktiraf dan menghargai usaha semua staf pada setiap bahagian dan unit yang berjaya memperoleh Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2021.\nDi samping itu, majlis ini juga diadakan bagi menghargai khidmat setia pensyarah yang telah menabur bakti selama puluhan tahun di UiTM Cawangan Perlis dan meraikan pesara\u00a0UiTM Cawangan Perlis.\u00a0\n\u00a0\nMajlis ini turut dihadiri oleh barisan pengurusan kanan UiTM Cawangan Perlis, ketua unit, pesara pilihan dan wajib dan penerima Anugerah Khidmat Cemerlang UiTM Cawangan Perlis Tahun 2021." "Amalan Gaya Hidup Sihat Cegah Diabetes\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan agar semua rakyat Perlis mengambil langkah mencegah dan mengawal penyakit diabetes melalui amalan gaya hidup sihat.\nAmalkan pemakanan yang seimbang dan sihat, lakukan senaman, sentiasa hidup aktif, tidak merokok dan hindari pengambilan alkohol yang berlebihan.\nDemikian titah baginda selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM16 400 kepada 29 orang asnaf terpilih. Melalui sumbangan tersebut, masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM400 setiap seorang dalam kalangan anak kariah Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar yang akan diagihkan oleh amilnya, Zulkifly Othman.\nBaginda turut mengingatkan agar rakyat Perlis melakukan saringan kesihatan secara berkala sekurang-kurangnya sekali setahun di mana-mana klinik kesihatan kerajaan atau swasta dengan memeriksa status indeks jisim tubuh (BMI), tekanan darah, paras gula dan kolesterol dalam darah.\n\u201cBagi mereka yang berisiko tinggi dan mempunyai gejala diabetes seperti dahaga, kerap buang air kecil dalam kuantiti yang banyak, letih, lesu, susut berat badan walaupun mempunyai selera yang baik, kabur penglihatan, luka lambat sembuh atau kebas kaki, jalanilah pemeriksaan dan dapatkan rawatan awal,\u201d tambah baginda lagi.\nSebanyak 52 184 atau satu daripada tiga penduduk dewasa yang berusia 18 tahun dan ke atas di negeri Perlis menghidap penyakit diabetes. Bagi pesakit diabetes, anda digalakkan untuk memantau sendiri paras gula dalam darah menggunakan glukometer di samping tidak meninggalkan ubat-ubatan atau rawatan yang diberikan oleh pegawai perubatan.\nDalam majlis yang sama, ialah taklimat khas mengenai diabetes turut dikongsikan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Ismuni Bohari dan Megat Ridhwan Megat Husain.\nTinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 menganggarkan negeri Perlis mencatatkan peningkatan prevalens diabetes yang ketara daripada 16.9 peratus pada tahun 2015 kepada 32.6 peratus pada tahun 2019.\nMengiringi ke program yang diadakan bersempena dengan Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke- 23 bagi tahun 2022 itu ialah anakanda baginda, Yang Amat Mulia Syed Sirajuddin Areeb Putra Ibni Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Ketua Pegawai Eksekutif\u00a0 MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor." "Amalkan Budaya Kaizen dalam Perkhidmatan \u2013 Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cSyabas dan tahniah kepada pengurusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta warga kerja DBP yang sangat komited, kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Rakyat Malaysia termasuklah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meletakkan harapan yang tinggi kepada DBP untuk mendaulatkan bahasa dan persuratan Melayu di negara ini serta menyebarluaskannya ke peringkat antarabangsa,\u201d kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBhg. Dato\u2019 Sri Mohd Shafiq Abdullah semasa merasmikan Majlis Hari Inovasi DBP 2022, pagi tadi.\nTambah beliau, pelbagai cabaran telah diharungi oleh DBP dalam mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Terkini, usaha kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu di persada antarabangsa ialah satu lagi usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan seterusnya sebagai lingua franca di Asia.\nSelain itu, beliau juga menyatakan bahawa usaha memartabatkan bahasa Melayu masih belum berakhir dan perlu diteruskan dengan pelbagai pendekatan yang positif dan berinovatif. Oleh itu, JPA akan memberikan sokongan padu melalui pelaksanaan pelbagai pekeliling dan sebagainya. Dalam zaman yang penuh mencabar ini, sikap melaksanakan tugasan dengan cara kebiasaan perlu ditinggalkan. Begitu juga dengan budaya \u201ctunggu dan lihat\u201d sudah pasti akan mengundang risiko yang membawa sesebuah organisasi itu ke arah kegagalan. Jelas beliau:\nPada masa ini, dalam keadaan dunia yang serba tidak menentu, sikap tidak mahu bertindak di luar kebiasaan akan menyebabkan sesebuah organisasi itu ketinggalan dan menjadi semakin tidak relevan.\nDalam konteks ini, beliau menyarankan supaya seluruh lapisan karyawan DBP perlu mengamalkan budaya kaizen, iaitu perubahan kepada yang lebih baik pada setiap masa. Amalan budaya ini akan memastikan DBP sentiasa kekal relevan dan bersedia menghadapi cabaran sama ada cabaran dalaman ataupun luaran.\nMenurut beliau, keupayaan untuk sentiasa berubah kepada yang lebih baik adalah suatu keperluan pada masa ini dengan ketidaktentuan politik, ekonomi dan sosial. Pandemik COVID-19 juga telah memberikan pengajaran kepada masyarakat agar berani untuk berubah melalui pendekatan berinovatif.\nAsas kepada pendekatan berinovatif ialah pemikiran terbuka untuk bekerjasama. Sikap ini wajar ditanam dan disuburkan dalam diri semua penjawat awam. Warga kerja DBP juga digalakkan untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain bagi menterjemahkan idea yang tercetus kepada produk atau perkhidmatan yang lebih baik kepada negara.\nSeterusnya ujar beliau, perkhidmatan dapat disampaikan dengan lebih efisien, berkesan dan produk dapat disebarluaskan, sekali gus memberikan manfaat kepada rakyat melalui pendigitalan. Hal ini bertepatan dengan hasrat yang dinyatakan dalam Pelan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang telah dilancarkan pada tahun 2021. Oleh itu, transformasi ke arah pendigitalan perkhidmatan awam akan dapat direalisasikan apabila seluruh perkhidmatan awam bersedia dengan kemahiran teknikal dan kapasiti dalam aspek inovasi.\nPada masa yang sama, penjawat awam juga dinasihatkan agar mempunyai kemahiran berinovasi bagi membolehkan teknologi dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk membangunkan pencapaian perkhidmatan yang lebih dinamik, pantas dan efektif.\nDalam ucapannya juga, beliau turut menekankan bahawa pembudayaan inovasi memerlukan iltizam yang tinggi dan komitmen daripada seluruh warga organisasi. Bagi maksud tersebut, pada kebiasaannya akan diadakan satu tema yang dijadikan sebagai azimat bagi menaikkan semangat untuk berinovasi.\nTema Majlis Hari Inovasi DBP 2022 pada tahun ini masih kekal seperti tahun lalu, iaitu \u201cHendak Seribu Daya\u201d. Tema ini adalah bertepatan dengan prinsip peri pentingnya karyawan DBP meningkatkan usaha bagi memastikan segala produk dan perkhidmatan yang dihasilkan dapat memenuhi tahap kepuasan pengguna dan pihak berkepentingan serta mencapai standard melangkaui jangkaan.\nMengulas dengan lebih lanjut, komitmen untuk berinovasi dan meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan dalam kalangan warga DBP dapat dilihat hasilnya menerusi pelbagai kejayaan. Kemampuan DBP dalam memberikan perkhidmatan dan menghasilkan produk seperti pelantar digital DBP, iaitu JendelaDBP, penerbitan Kamus Dewan Perdana, Sistem Pengesahan Bahasa dalam Talian, Pusat Rujukan Persuratan Melayu dan Studio DBP telah membuktikan bahawa warga DBP tidak terkebelakang dalam memanfaatkan teknologi digital, berinovasi dan menyediakan perkhidmatan yang terbaik.\nInovasi bukan sekadar penekanan kepada aspek teknologi semata-mata. Teknologi insan perlu diberikan penekanan melalui pengiktirafan kepada bakat dan kepakaran yang melibatkan karyawan DBP dan pelbagai pihak yang telah menjalinkan sinergi dengan DBP bagi memastikan produk dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh DBP mencapai tahap kualiti yang tertinggi.\nDi samping itu, beliau berpendapat bahawa pembudayaan inovasi dan kreativiti secara konsisten dan terancang adalah perlu bagi menempatkan negara dalam kategori negara maju. Cetusan idea yang kreatif dan inovatif mampu memacu dan melonjakkan pencapaian sesebuah negara ke tahap yang lebih berdaya saing dan kekal relevan.\nDalam majlis tersebut, pelbagai anugerah inovasi telah diberikan kepada karyawan DBP untuk mengiktiraf sumbangan idea dan tenaga karyawan DBP sama ada secara individu ataupun secara berpasukan. Pengiktirafan ini diharapkan akan lebih menaikkan semangat para penerima anugerah dan karyawan DBP yang lain untuk berada di pentas yang sama pada tahun akan datang.\nSementara itu, beliau mencadangkan Anugerah Citra Sahabat DBP agar dapat diteruskan pada setiap tahun bagi mengiktiraf rakan sinergi dan DBP dapat bekerjasama dengan pelbagai agensi. Pengiktirafan ini boleh dilaksanakan dengan memberikan ganjaran yang lebih walaupun bukan dalam bentuk kewangan. Pengiktirafan juga boleh diberikan melalui pelaksanaan beberapa program khusus di organisasi yang telah menjadi rakan sinergi bagi mengekalkan keakraban dengan organisasi berkenaan.\nDalam majlis yang sama turut diadakan pelancaran Panduan Umum Pemilihan dan Pemasukan Kata Entri Kamus Ekabahasa Bahasa Melayu; Panduan Pembinaan Ensiklopedia; Manual Pengurusan Buku Teks Skim Pinjaman (BTSP); dan Kad Nama Digital DBP.\nMajlis ini diakhiri dengan sesi penyerahan cenderamata kepada YBhg. Dato\u2019 Sri Mohd Shafiq Abdullah dan persembahan khas oleh pelajar asing dari Asia Pacific University dan Kumpulan Inovasi DBP.\nHadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan; Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran; Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, YBhg. Dato\u2019 Hajah Norison Ramli; Ketua Pengarah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri, YBhg. Dato\u2019 Dr. Shazelina Zainul Abidin; pengarah jabatan; ketua bahagian dan tetamu undangan yang lain." "DBP Memacu Inovasi dengan Slogan \u201cHendak Seribu Daya\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Majlis Hari Inovasi DBP 2022 sebagai inisiatif bagi menghargai keterlibatan karyawan DBP yang melahirkan idea kreatif, inovatif dan malar segar serta pengiktirafan kepada rakan sinergi DBP yang telah berganding bahu bersama-sama DBP bagi menyebarluaskan dan memartabatkan bahasa Melayu di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada pagi ini.\nSambutan majlis yang turut melibatkan kehadiran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBhg. Dato\u2019 Sri Mohd Shafiq Abdullah ini mendukung tema atau slogan \u201cHendak Seribu Daya\u201d yang diinspirasikan daripada peribahasa Melayu, \u201chendak seribu daya, tak hendak seribu dalih\u201d sebagai iltizam DBP untuk melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan memperkasakan budaya inovasi dan kreativiti.\nDalam ucapan alu-aluan majlis, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menyatakan bahawa DBP selaku badan pembinaan bahasa, sastera dan penerbitan telah melalui beberapa fasa penting dalam konteks pembinaan negara bangsa. Kegiatan DBP dalam bidang perancangan bahasa, sastera dan penerbitan ilmu dalam bahasa kebangsaan telah membuahkan hasil negara dalam membentuk masyarakat yang berilmu, berjati diri serta menghayati seni dan budaya melalui gaya sastera.\nPerkembangan tersebut perlu disejajarkan dengan keperluan zaman dan keadaan yang dapat menarik perhatian masyarakat, khususnya golongan muda. Oleh itu, DBP telah mengambil langkah dengan menyesuaikan pelaksanaan fungsi utama DBP melalui pembangunan aplikasi teknologi maklumat bahasa dan persuratan Melayu seperti Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Sistem Khidmat Nasihat DBP, Khidmat Pengesahan Bahasa dalam Talian, Pengesahan Iklan dalam Talian dan E-Niaga.\nTambah beliau lagi, antara perkara yang memberikan kesan yang cukup baik dalam konteks mengangkat bahasa, sastera dan ilmu melalui teknologi adalah dengan kewujudan JendelaDBP sebagai gerbang yang menyediakan maklumat dan ilmu bahasa, sastera serta pelbagai cabang ilmu lain.\n\u201cJendelaDBP yang dibangunkan pada tahun 2021 yang turut berperanan sebagai pelantar penerbitan edisi majalah elektronik yang menyiarkan makalah yang terkini dan tersohor telah mencapai jumlah pengikut mencecah dua juta orang. Hal ini membuktikan bahawa melalui inovasi dan penggunaan teknologi, kita dapat menyampaikan produk bahasa dan sastera DBP dengan lebih meluas\u201d, ulasnya lagi.\nMengakhiri ucapan, beliau mengingatkan semua warga DBP agar terus menjadikan slogan \u201cHendak Seribu Daya\u201d sebagai pegangan dalam diri dan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk menghasilkan kerja yang terbaik dan berkualiti.\nSaya menyeru warga DBP agar terus memperkuat azam dan memperkukuh tekad serta menjadikan kreativiti dan inovasi sebagai asas dalam gerakan pembangunan dan penambahbaikan kualiti kerja dan kecemerlangan organisasi melalui teknologi digital dan elektronik.\nDalam majlis ini juga, YBhg. Dato\u2019 Sri Mohd Syafiq Abdullah turut menyampaikan Anugerah Inovasi dan Citra DBP yang melibatkan Anugerah Karyawan Inovatif, Anugerah Inovasi Ketua Pengarah, Anugerah Citra Program, Anugerah Citra Karya dan Anugerah Citra Sahabat DBP.\n\u00a0\nDalam majlis tersebut juga, beberapa produk terbitan DBP, iaitu Panduan Umum Pemilihan dan Pemasukan Kata Entri Kamus Ekabahasa Bahasa Melayu, Panduan Pembinaan Ensiklopedia, Manual Pengurusan Buku Teks Skim Pinjaman (BTSP), buku Dasar Pengurusan Konflik Kepentingan, dan Kad Nama Digital turut dilancarkan oleh YBhg. Dato\u2019 Sri Mohd Shafiq Abdullah.\nTurut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran; Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, YBhg. Dato\u2019 Hajah Norison Ramli; Ketua Pengarah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri, YBhg. Dato\u2019 Dr. Shazelina Zainul Abidin; pengarah jabatan; ketua bahagian; dan staf DBP.\n\u00a0\nSENARAI PEMENANG ANUGERAH INOVASI DAN CITRA DBP\nKategori: Anugerah Karyawan Inovatif DBP\nPenerima: Encik Muhammad Fadhil Abdullah (Bahagian Sistem Maklumat, DBP)\n\u00a0\nKategori: Anugerah Citra Karya DBP (Karya Kreatif)\nPenerima: Puan Azura Mohd Halid (DBP Wilayah Selatan) melalui skrip drama televisyen/telefilem bertajuk Bangkit.\n\u00a0\nKategori: Anugerah Citra Karya DBP (Karya Bukan Kreatif)\nPenerima: Encik Shahrun Nizal Mohd Nor (Bahagian Penyelidikan Sastera) melalui karya Fikrah Sastera\n\u00a0\nKategori: Anugerah Citra Program DBP\nPenerima: DBP Wilayah Selatan melalui Anugerah Citra Mural dan Arca Gemilang Bahasa\n\u00a0\nKategori: Anugerah Inovasi Ketua Pengarah\nPenerima: Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan Unit Integriti melalui pelaksanaan e-Pengambilan dan e-Peperiksaan\n\u00a0\nKategori: Anugerah Citra Sahabat DBP (Individu)\nPenerima:\n(i) Puan Nor Shahida Mohd Salleh\n(ii) Puan Syahidatul Munirah Badrul Munir\n(iii) Puan Chin Fong Phin\n(iv) Encik Yeo Kok Keong\n\u00a0\nKategori: Anugerah Citra Sahabat DBP (Sektor Awam)\nPenerima:\n(i) Institut Latihan Perindustrian Arumugam Pillai, Nibong Tebal\n(ii) Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Kelantan dan Terengganu\n(iii) Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri\n(iv) Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.\n\u00a0\nKategori: Anugerah Citra Sahabat DBP (Sektor Swasta/GLC)\nPenerima:\n(i) Kumpulan SME Bank\n(ii) Kumpulan UMW" "Cabaran Pembelajaran Sains Secara dalam Talian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nProses pembelajaran bagi mata pelajaran Sains sering mengalami perubahan dari semasa ke semasa seiring dengan perkembangan teknologi abad ke-21. Oleh itu, kesediaan dan kompentensi pendidik untuk bertindak seiring dengan keperluan semasa adalah diperlukan serta harus ditingkatkan. Sekiranya tidak berbuat demikian, pelajar akan ketinggalan dalam banyak aspek kehidupan serta natijahnya memberikan kesan negatif kepada pembangunan negara.\nPendidikan dalam bidang sains, matematik, kejuruteraan dan teknologi (STEM) menjadi komponen utama dalam pembelajaran abad ke-21. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menekankan pelaksanaan pendidikan STEM dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015.\nAntara cabaran yang pertama dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) STEM di Malaysia termasuklah cabaran kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Untuk menjadi negara maju, revolusi industri memerlukan seseorang pelajar itu berjaya menguasai KBAT. Oleh sebab itu, KPM mengambil inisiatif memasukkan elemen berkaitan dengan revolusi industri dalam PPPM 2015-2025.\nArahan pembelajaran secara dalam talian dikatakan dapat mengatasi cabaran penguasaan KBAT dalam kalangan pelajar. Kajian mendapati pembelajaran topik elektrokimia secara dalam talian telah meningkatkan minat, penyertaan dan pencapaian pelajar. Namun demikian, terdapat juga beberapa kajian yang menemukan beberapa cabaran utama dalam pembelajaran mata pelajaran Sains secara dalam talian seperti persepsi positif yang rendah terhadap penerimaan pembelajaran secara dalam talian.\nSelain itu, amalan pedagogi berasaskan teknologi dalam penghasilan bahan PdP juga masih berada pada tahap yang \u00c2\u00a0rendah. Kejayaan pembelajaran secara dalam talian masih lagi bergantung pada sokongan institusi pengajian seperti prasarana Internet dan peralatan teknologi.\nCabaran kedua bagi pembelajaran secara dalam talian adalah kurangnya elemen interaksi seperti yang dilaporkan dalam beberapa kajian terdahulu. Dalam proses pembelajaran, elemen interaksi adalah sangat perlu bagi mengukuhkan kefahaman di samping menyokong dan membantu menyelesaikan masalah sukar yang dihadapi.\nSebagai contohnya, melalui penggunaan platform teknologi pendidikan aplikasi Edmodo yang boleh dicapai melalui laman web oleh pelajar seantero dunia, walaupun aplikasi ini mempunyai kelebihan seperti pelajar berkongsi video, nota dan pendapat sesama rakan sekuliah, perbincangan secara maya, namun kelemahannya ialah tiadanya sesi perbincangan segerak, yakni ruangan perbualan dalam aplikasi tersebut.\nDilaporkan kebanyakan pembelajaran mata pelajaran Sains secara dalam talian tidak menggabungkan elemen interaksi yang meliputi:\nCabaran seterusnya adalah berkaitan dengan pemilihan pendekatan PdP. Hal ini penting dalam menambah baik reka bentuk pembelajaran secara dalam talian. Terdapat kajian yang menunjukkan pemilihan PdP dengan pendekatan yang sesuai dan tepat dapat mengurangkan permasalahan pembelajaran dan interaksi sesama pelajar secara dalam talian.\nTerdapat dua pendekatan PdP yang terbaik, iaitu pembelajaran berasaskan projek dan pembelajaran berasaskan masalah. Walaupun kedua-dua pendekatan ini agak sukar dan rumit untuk dilaksanakan, namun kaedah ini tetap menjadi pilihan dalam pengajaran. Misalnya, terdapat laporan yang menyatakan berlakunya peningkatan kemahiran kognitif dan berfikir aras tinggi serta memudahkan proses visualisasi dan pemetaan konsep dalam sesuatu pembelajaran yang dipelajari melalui pendekatan pembelajaran berasaskan masalah yang dilaksanakan secara dalam talian.\nPembelajaran berasaskan masalah merentasi pelbagai bidang, menggunakan pembelajaran situasi yang merangsang pelajar untuk menggunakan pengetahuan, menggalakkan pembelajaran kendiri atau kolaborasi bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam situasi yang diberikan kepada pelajar semasa proses pembelajaran. Walaupun pendekatan pembelajaran berasaskan masalah dilihat agak kompleks untuk dilaksanakan secara dalam talian, namun selagi pelajar mengikuti langkah pembelajaran yang diberikan, objektif pembelajaran akan dapat dicapai dengan baik.\nPemilihan media yang sesuai untuk pembelajaran secara dalam talian juga menjadi cabaran. Kebijaksanaan pengajar dalam memilih media seperti elemen video, audio, animasi dan simulasi dapat merangsang minat pelajar seiring dengan kecenderungan mereka. Kepelbagaian latar belakang dan gaya pembelajaran pelajar juga perlu dipertimbangkan dalam pemilihan media yang akan digunakan dalam PdP bagi mengoptimumkan hasil pembelajaran secara dalam talian.\nBahan pembelajaran digital yang bersifat interaktif seperti animasi, simulasi, permainan, komponen pelengkap seperti penerangan yang jelas, ruang interaksi antara pengajar denga pelajar dapat memenuhi keperluan pelajar dalam proses pembelajaran serta memberikan impak positif dalam meningkatkan kefahaman pelajar.\nCabaran lain adalah berkaitan bahan PdP bagi mata pelajaran Sains secara dalam talian yang terhad kepada persekitaran simulasi tanpa susunan pembelajaran yang sistematik dan lengkap. Sebagai contohnya, model pembelajaran Squeak Etoys yang direka bentuk menggunakan kaedah simulasi bagi menggalakkan persekitaran pembelajaran yang aktif melalui pendekatan berasaskan masalah yang menggabungkan elemen simulasi multimedia dalam bentuk permainan. Namun begitu, susunan pembelajaran yang sistematik dan lengkap seperti video pembelajaran, nota dan latihan topikal tidak disediakan.\nDi Malaysia, walaupun kerajaaan telah menyediakan perisian untuk pembelajaran secara dalam talian, penggunaannya masih tidak mencapai sasaran yang ditetapkan. Perkara ini dilaporkan dalam kajian terdahulu, misalnya perisian FrogVLE yang disediakan oleh KPM tidak digunakan sepenuhnya disebabkan kandungannya yang tidak mesra pengguna.\nCabaran lain yang dilaporkan oleh KPM adalah kandungan pembelajaran yang padat dan kemudahan infrastruktur yang tidak mencukupi dalam pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian di Malaysia.\nNamun demikian, cabaran pembelajaran secara dalam talian ini beralih kepada fasa yang baharu apabila berlakunya pendemik COVID-19 pada tahun 2020. Dilaporkan bahawa Malaysia merupakan antara negara yang aktif dalam menggunakan perisian pembelajaran secara dalam talian. Kini, pembelajaran secara dalam talian telah semakin diterima dan diguna pakai dengan semakin baik dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran." "Kelestarian Padi dan Beras untuk Kemakmuran Bersama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAlor Setar \u2013 Bertempat di Raia Hotel and Convention Centre Alor Setar telah berlangsungnya Persidangan Padi Kebangsaan 2022 yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), YBhg. Dato\u2019 Haslina Abdul Hamid.\nDalam usaha untuk memastikan subsektor padi dan beras kekal signifikan dan relevan dalam pembangunan sosioekonomi negara, Persidangan Padi Kebangsaan 2022 dianjurkan sebagai medium untuk berkongsikan pengetahuan dan idea yang melibatkan penggubal dasar, ahli akademik, penyelidik, pegawai pengembangan, petani, usahawan serta pemain industri dalam industri padi dan beras.\nBeras ialah makanan ruji di negara ini. Oleh itu, industri padi dan beras\u00a0 adalah antara empat subsektor terpenting yang diberikan penekanan oleh pihak MAFI. Antaranya adalah dengan memastikan pengurusan sumber benih yang berkualiti secara sistematik dalam usaha negara menghadapi situasi luar jangkaan seperti pandemik, bencana alam, perubahan iklim dan situasi geopolitik, sama ada di dalam negara ataupun di luar negara.\nMenurut beliau, Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 yang merangkumi lima teras strategi, 15 strategi dan 96 inisiatif telah dibangunkan oleh MAFI. Pelan ini bagi memperkukuh sekuriti makanan dengan mengambil kira isu dan cabaran sepanjang rantaian makanan.\nDasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 telah digubal sebagai usaha kerajaan bagi menjamin sekuriti makanan dengan mendukung aspirasi dan hala tuju sektor agromakanan negara supaya lebih mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.\nTambah beliau, pelaksanaan strategi dan pelan tindakan DAN 2.0 membolehkan subsektor padi dan beras terus kompetitif serta mampu menambah baik tahap sara hidup petani selain memastikan kelestarian pengeluaran padi dan beras serta keselamatan alam sekitar terjamin. Matlamat ini juga adalah bertepatan dengan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dan prinsip Agenda Pembangunan Mampan 2030 (SDG 2030).\nBagi menyemarakkan lagi persidangan ini, sebanyak 16 reruai pameran daripada syarikat berkaitan dengan industri dan perkhidmatan padi turut dipamerkan sepanjang persidangan berlangsung dan dibuka secara percuma kepada orang ramai.\nPersidangan pada kali ini yang disertai oleh lebih daripada 400 orang peserta dibahagikan kepada empat sidang, iaitu tiga sesi pembentangan dan satu sesi forum yang memfokuskan pemerkasaan teknologi dan inovasi padi dan beras ke arah kelestarian pengeluaran, strategi pengurusan dan teknologi pengeluaran padi dan beras, peranan agensi kerajaan dan swasta dalam memakmurkan industri padi negara dan forum yang bertajuk \u201cKelestarian Padi dan Beras untuk Kemakmuran Bersama\u201c.\nDalam majlis tersebut juga diadakan pelancaran pakej teknologi sistem amaran awal risiko serangan bena perang. Majlis ini turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di sini." "Iskandar Investment Berhad Membentuk Generasi Masa Hadapan melalui Pendidikan STEM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIskandar Puteri \u2013 Iskandar Investment Berhad (IIB) bekerjasama dengan syarikat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Avitex Solution (M) Sdn. Bhd. dalam penganjuran kohort ketiga dan keempat Program Juruterbang Dron Muda Iskandar Puteri (IPJDP) di Iskandar Puteri.\nProgram yang bermula pada Disember 2021 ini melibatkan masyarakat setempat dan pihak lain yang berminat mencari peluang di samping mendedahkan anak-anak mereka kepada sains dan teknologi yang sedang berkembang.\nIskandar Puteri menempatkan Zon Dron dan Robotik yang diterajui oleh IIB dan diiktiraf oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sebagai National Technology and Innovation Sandbox. Inisiatif akar umbi ini adalah sejajar dengan visi IIB untuk membangunkan Iskandar Puteri sebagai metropolis masa hadapan yang inklusif dan mampan melalui penyemaian bakat dan minat tempatan dalam komuniti.\nProgram Juruterbang Dron Muda ini memfokuskan pada pendidikan sains, matematik, kejuruteraan dan teknologi STEM yang merangkumi pengetahuan teknikal asas, kemahiran penerbangan dan pengaturcaraan serta keselamatan berkaitan dengan operasi dron. Program ini terbuka kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang tidak mempunyai pendedahan awal kepada dron serta disasarkan untuk mendedahkan generasi muda kepada teknologi baharu dan pelbagai aplikasi melalui program pembelajaran berdasarkan pengalaman.\nMenurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Dato\u2019 Idzham Mohd Hashim,\nKami berbangga dapat bekerjasama dengan UTHM dalam membangunkan bakat muda tempatan sambil mengukuhkan kedudukan Iskandar Puteri sebagai pusat ekonomi digital dan pembangunan bakat di Johor.\nTambahnya lagi, dengan pertambahan syarikat dron dan penyedia perkhidmatan yang beroperasi di Iskandar Puteri melalui inisiatif Zon Dron dan Robotik Iskandar oleh IIB, Program Juruterbang Dron Muda ini bukan sahaja dapat meningkatkan penglibatan komuniti berkaitan dron dan robotik tetapi mendedahkan, menggalakkan dan memperkasakan generasi muda untuk mengejar kerjaya dalam teknologi dan inovasi.\n\u201cProgram ini akan memupuk ekosistem berteraskan inovasi untuk meningkatkan aktiviti ekonomi dan pembangunan bakat baharu dalam Iskandar Malaysia. Kami berharap program ini akan menjadi pemangkin pembangunan bakat tempatan ke arah meletakkan Iskandar Puteri sebagai hab teknologi dan bakat yang sedang berkembang pesat untuk Malaysia dan rantau Asia Pasifik,\u201d ujarnya lagi.\nSementara itu, Pengarah Urusan Avitex Solution (M) Sdn. Bhd., Profesor Madya Dr Mohammad Zulafif Rahim menyatakan bahawa pembelajaran STEM yang diajar sejak usia muda adalah penting untuk memastikan pelajar dilengkapi dengan kemahiran untuk menghadapi dunia yang bergantung pada teknologi.\nKami kini mempunyai alat untuk memastikan pelajar terlibat dan bersemangat tentang mata pelajaran ini. Menggabungkan dron dalam pendidikan adalah cara baharu untuk menjadikan pembelajaran STEM lebih menyeronokkan, inovatif dan interaktif untuk generasi muda.\nProgram Juruterbang Dron Muda ini telah menghimpunkan hampir 80 peminat dron muda yang menikmati pengalaman pendidikan yang mengasyikkan dan peluang praktikal. Program ini dijadualkan diadakan pada setiap suku tahun dan boleh menerima 20 peserta pada setiap sesi.\nPeserta program akan menerima dron yang berfungsi sepenuhnya, sayap juruterbang dron, sijil Juruterbang Dron Muda yang diperakui. Selain itu, peserta juga memperoleh pengetahuan tentang komponen dron, elektronik, keselamatan, pengaturcaraan dan penerbangan.\nUntuk maklumat lanjut mengenai Program Juruterbang Dron Muda yang akan datang, ikuti Instagram di @iskandarinvestment Iskandar Investment Berhad (IIB) ialah pemain utama dalam transformasi di Iskandar Malaysia dalam menjadikan wilayah itu sebuah metropolis yang dikenali pada peringkat antarabangsa. \nIIB ditubuhkan pada November 2006 yang berperanan memastikan wilayah ekonomi itu meneruskan pencapaian cemerlang, terutamanya menjadi sebuah destinasi pelaburan yang menarik dan wilayah yang mempunyai kualiti hidup yang baik menerusi projek pemangkin dan berimpak tinggi.\nFokus IIB meliputi pembangunan Iskandar Puteri dalam sektor pendidikan, kreatif, pelancongan, riadah serta kesihatan dan kesejahteraan. Antara pencapaian utama IIB termasuklah kejayaan dalam usaha sama dan pelaburan di samping menjadi rakan kongsi pelaburan dalam EduCity, LEGOLAND Malaysia Resort, Iskandar Puteri dan Medini serta projek infrastruktur di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 di Iskandar Malaysia.\nIIB komited untuk memacu ekonomi dan pertumbuhan mapan alam sekitar di Iskandar Malaysia dan memastikan pertumbuhan inklusif untuk warga Iskandar menerusi peluang pekerjaan dan pendapatan. Untuk keterangan lanjut mengenai IIB, sila lawati halaman ini." "Meminimumkan Risiko Kemalangan di Bahu Jalan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBahu jalan ditakrifkan sebagai jalur sempit di sebelah kiri di sepanjang atau berhampiran jalan raya yang dibina dengan permukaan yang sesuai untuk menyediakan kawasan kenderaan berhenti pada waktu kecemasan. Bahu jalan boleh dibezakan dengan jalan raya dengan jalur marginal putih yang berterusan.\nDalam amalan pembinaan jalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia, bahu jalan sepatutnya dibina dengan kelebaran antara 1.5 meter hingga tiga meter. Kelebaran bahu jalan ini pula bergantung pada jenis, lokasi (sama ada di bandar atau di luar bandar) dan kapasiti (atau jumlah trafik) yang perlu ditampung oleh jalan tersebut.\nBahu jalan biasanya lebih sempit daripada lorong lalu lintas biasa. Bagi sesetengah kes, terutamanya di luar bandar, bahu jalan tidak diturap dengan asfalt atau konkrit. Bahu jalan bukanlah untuk kegunaan lalu lintas walaupun terdapat beberapa pengecualian. Bahu jalan di lebuh raya di Malaysia dibina untuk tujuan kecemasan, sama seperti negara lain.\nBahu jalan mempunyai pelbagai kegunaan, antaranya termasuklah sebagai laluan untuk ambulans, trak bomba dan kereta polis memintas kesesakan lalu lintas sekiranya berlaku kecemasan. Di sesetengah jalan raya di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai laluan pejalan kaki, pejalan kaki dan penunggang basikal dibenarkan untuk menggunakan bahu jalan.\nBahu jalan berturap pula menyediakan ruang tambahan sekiranya pemandu perlu mengambil tindakan mengelak (seperti mengelak pemandu yang salah jalan) atau memulihkan kawalan kenderaan sekiranya terbabas dari laluan. Sekiranya berlaku kecemasan atau kerosakan, pemandu boleh memasuki bahu jalan sebagai langkah keselamatan.\nKadangkala, pemandu akan melencong ke bahu jalan apabila dipintas oleh kenderaan yang lalu-lalang, terutamanya di jalan yang mempunyai dua lorong. Jika berlaku kecemasan, sekiranya kenderaan yang berhenti di bahu jalan memasuki semula lorong lalu lintas dengan selamat, risiko pelanggaran dapat dikurangkan.\nPerlu diingatkan bahawa menyalahgunakan bahu jalan adalah tidak selamat dan menyalahi undang-undang. Pada kebiasaannya, apabila terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, pemandu berkeinginan untuk memintas semua kenderaan, bahu jalan ialah pilihan yang ada untu hal tersebut. Walau bagaimanapun, perbuatan tersebut adalah berbahaya. Antara bahaya akibat memandu di bahu jalan termasuklah:\nBahu jalan lebuh raya direka untuk membolehkan kenderaan kecemasan melalui jalan itu apabila berlaku kesesakan. Jika terdapat kenderaan yang menghalang laluan di bahu jalan, bantuan mungkin terlewat sampai kepada mangsa yang memerlukan.\nMemandu di bahu jalan, lebih-lebih lagi dalam keadaan tergesa-gesa akan mengurangkan fokus pemandu. Perlanggaran mungkin berlaku apabila kenderaan di bahu jalan melanggar kenderaan lain yang tiba-tiba memasuki bahu jalan tanpa amaran akibat kecemasan atau hilang kawalan.\nPemandu yang mematuhi undang-undang mungkin akan marah apabila melihat kenderaan lain tidak mematuhi undang-undang dan menggunakan bahu jalan semasa kesesakan lalu lintas. Pemandu tersebut mungkin cenderung untuk tidak membenarkan pemandu yang menggunakan bahu jalan untuk memasuki lalu lintas semula dan mungkin bertindak balas dengan bergerak ke hadapan agar tidak dipintas atau menghalang sepenuhnya kenderaan tersebut daripada kembali ke laluan yang ditetapkan.\n\u00a0\nBahu lebuh raya adalah tempat yang sangat berbahaya untuk pejalan kaki. Walaupun bahu lebuh raya direka khusus untuk situasi dan kenderaan kecemasan, masih banyak berlakunya kemalangan dan kematian di laluan yang sepatutnya melindungi orang ramai daripada bahaya.\nMenurut data daripada AAA Foundation for Traffic Safety, kira-kira 12 peratus daripada jumlah kematian lebuh raya antara negeri di Amerika Syarikat berpunca daripada kemalangan di bahu jalan. Hal ini bermakna dianggarkan sebanyak 600 orang setahun telah maut dan ribuan lagi mengalami kecederaan semasa menggunakan laluan tersebut.\nAntara risiko yang dihadapi oleh orang ramai atau kenderaan yang berhenti di bahu jalan termasuklah:\nKelajuan boleh menyebabkan pemandu sukar melihat sekiranya pemandu yang berhenti itu membongkok atau berjalan mengelilingi kereta apabila keretanya rosak. Apabila perkara ini berlaku, pemandu dalam kenderaan yang laju tidak dapat melihat dengan baik dan tidak dapat mengelak perlanggaran.\nWalaupun bahu jalan dibina untuk tujuan kecemasan, pemandu jarang-jarang menjangkakan adanya kereta di tepi jalan, apatah lagi pejalan kaki yang berkeliaran begitu dekat dengan lebuh raya. Kekeliruan ini boleh menyebabkan sesetengah pemandu cenderung untuk terlencong atau mengabaikan kehadiran pejalan kaki dan menyebabkan perlanggaran tragis.\nBerdiri berhampiran kenderaan di bahu jalan meningkatkan potensi dilanggar oleh kenderaan yang laju.\nApabila kenderaan diperlahankan untuk bergerak ke bahu jalan, kenderaan di belakang mungkin akan merempuh, meleret ke sisi atau perlanggaran secara langsung akan berlaku.\nKenderaan yang dipandu pada kelajuan 100 kilometer sejam mampu menghasilkan banyak ricih angin dan menyebabkan serpihan zarah kecil menghentam pada kelajuan letupan.\nSetelah kerosakan dibaiki atau masalah kecemasan lain telah diselesaikan, kenderaan perlu memasuki aliran lalu lintas semula. Tindakan ini perlu dilakukan dengan pantas dan berpuluh-puluh kereta berlumba untuk melepasi kenderaan anda.\nOleh itu, sekiranya keadaan tidak benar-benar memaksa, pemandu disarankan agar tidak berhenti di bahu jalan, terutamanya pada waktu malam. Hal ini dikatakan demikian kerana pada waktu tersebut pemandu sering keletihan dan jarak penglihatan adalah terhad .\nAcapkali kemalangan berlaku apabila pemandu yang keletihan melihat lampu di hadapan dan menyangka bahawa lampu tersebut ialah milik kenderaan yang bergerak di lorong kiri. Sedangkan lampu tersebut ialah lampu kenderaan yang berhenti di bahu jalan. Bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku, beberapa saranan seperti berikut boleh dipertimbangkan.\nSekiranya tayar pancit, pemandu mungkin bimbang akan kenderaan mengalami kerosakan yang lebih besar sekiranya terus dipandu. Pemandu mungkin akan menghentikan kenderaan secepat mungkin, walaupun kadang-kadang sedang berada di bahagian tengah jalan. Secara amnya, perkara paling teruk yang boleh berlaku ialah kerosakan pada tayar atau rim dan mungkin menelan sedikit kos pembaikan bergantung pada jenis kenderaan. Namun begitu, risiko kerugian akibat kerosakan tayar adalah sangat kecil berbanding dengan risiko mempertaruhkan nyawa apabila menghentikan kenderaan di bahu jalan.\nPastikan semua penumpang keluar daripada kenderaan dan jauhkan mereka dari kenderaan secepat mungkin. Jangan berdiri di sekeliling kenderaan. Sekiranya terdapat penyangga jalan, panjat dan tunggu di belakang penghadang jalan. Jika anda terlibat dalam kemalangan, berhenti sejauh mungkin ke sebelah kiri dan elakkan berdiri di bahu jalan yang hampir dengan laluan lalu lintas.\nNyalakan lampu bahaya. Jika mempunyai kain atau baju berwarna putih, atau kertas putih, kibarkan pada tingkap kenderaan supaya pemandu lain tahu anda perlukan bantuan. Sekiranya kecemasan berlaku pada waktu malam, letakkan lampu amaran atau penanda pemantul kira-kira dua meter di belakang kenderaan untuk memberikan amaran kepada lalu lintas. Jika anda tidak mempunyai lampu atau penanda pemantul, hidupkan lampu dalaman supaya lebih kelihatan.\nElakkan memandu rapat ke bahu jalan jika terdapat kenderaan berhenti di situ. Pindah ke lorong seterusnya apabila keadaan mengizinkan dan selamat. Beri ruang kepada pemandu yang dalam kecemasan untuk bertindak, lebih-lebih lagi jika ada kenderaan kecemasan dan bantuan sedang diberikan.\nKeselamatan menjadi perkara yang paling penting untuk anda dan keluarga anda. Bahu jalan dan lebuh raya boleh menjadi tempat yang berbahaya. Memandulah dengan bertanggungjawab dan berhati-hati supaya sampai ke tempat yang dituju dengan selamat.\n\u00a0\nDr. Suzielah Rahmad ialah mantan pelajar Doktor Falsafah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Prof. Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff ialah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, UKM." "Tangani Ketidaksaksamaan bagi Mengakhiri AIDS Menjelang Tahun 2030\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sambutan Hari AIDS Sedunia yang disambut pada setiap 1 Disember di seluruh dunia menjadi platform untuk memperbaharui komitmen dan tekad dalam usaha menangani jangkitan virus kurang daya tahan manusia (HIV) atau sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS).\nSambutan yang bertemakan \u201cEqualize: Kesaksamaan untuk Kesihatan bagi Mengakhiri AIDS\u201d pada tahun ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran berkenaan dengan jangkitan HIV, langkah pencegahan dan kawalan yang boleh dilakukan serta rawatan ke arah mengakhiri AIDS menjelang tahun 2030.\nSecara umumnya, jangkitan baharu HIV atau AIDS di Malaysia telah mencatatkan penurunan sebanyak 70 peratus dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini. Liputan rawatan menggunakan ubat antiretrovirus (ARV) kepada individu yang hidup dengan HIV (ODHA) telah dipertingkatkan kepada 66 peratus pada tahun 2021 berbanding dengan 28 peratus pada tahun 2015.\nWalau bagaimanapun, kadar penurunan kes HIV dan peningkatan liputan rawatan ini masih belum mencukupi untuk negara membendung penyakit AIDS sehingga tidak lagi menjadi isu kesihatan awam menjelang tahun 2030. Hal ini bermakna, ketidaksamaan masih menjadi penghalang kepada usaha yang dilaksanakan.\nOleh yang demikian, ketersediaan, kualiti dan kesesuaian perkhidmatan rawatan, ujian dan pencegahan HIV mestilah dipertingkatkan bagi memastikan kesaksamaan tersebut tercapai dan masyarakat mendapat perkhidmatan yang terbaik.\nDalam konteks ini, uji dan rawat HIV atau AIDS akan terus diperkukuh dengan memperkenalkan saringan HIV kendiri untuk menarik lebih banyak populasi kunci (kelompok masyarakat yang rentan terhadap penularan HIV) dan pasangan menjalani saringan dan mendapatkan rawatan yang sewajarnya.\nKini, perkhidmatan Differentiated HIV Services for Key Populations (DHSKP) Model KK 2.0 yang dilaksanakan di 31 buah klinik kesihatan dengan kerjasama pintar kerajaan-bukan kerajaan akan diperluaskan bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan, khususnya kepada populasi kunci HIV.\nKonsep U=U (U equal to U) atau Undetectable = Undetectable adalah antara pendekatan atau konsep penting dan terbukti berkesan dalam mengekang jangkitan HIV. ODHA yang mengambil ubat ARV mengikut jadual yang ditetapkan boleh hidup seperti individu normal yang tidak dijangkiti HIV. Hal ini dikatakan demikian kerana virus tidak lagi dikesan dan tidak menjangkiti individu lain.\nDalam hal ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus meningkatkan rawatan ARV dalam kalangan ODHA. Bagi pasangan kepada ODHA pula, rawatan Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) akan dimulakan di klinik kesihatan pada tahun hadapan. Secara umumnya, rawatan PrEP ini mampu mengurangkan risiko\u00a0sebanyak 99 peratus bagi seseorang itu dijangkiti HIV melalui hubungan seksual apabila diambil mengikut preskripsi yang telah ditetapkan.\nSeterusnya, bagi mengekang isu stigma dan diskriminasi serta memastikan perkhidmatan HIV dan AIDS dapat diberikan dengan lebih mesra, program Pengurangan Stigma dan Diskriminasi melalui Pendekatan Peningkatan Kualiti telah dijalankan di fasiliti kesihatan. Program ini telah berjaya mengurangkan stigma dan diskriminasi terhadap ODHA dalam kalangan kakitangan kesihatan.\nPada masa ini, program tersebut telah diperluaskan kepada 55 buah fasiliti kesihatan di seluruh negara dan akan terus dipanjangkan ke semua fasiliti kesihatan pada masa akan datang. Anggota KKM juga akan dilatih dalam memberikan perkhidmatan yang lebih baik tanpa stigma dan diskriminasi dengan menggunakan modul HOPE: Hentikan Stigma dan Diskriminasi terhadap Orang yang Hidup dengan HIV atau AIDS (ODHA) dan Key Populations (KPs).\nKKM menyeru semua pihak termasuklah sektor kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan, badan korporat, individu yang hidup dengan HIV dan masyarakat dapat terus mengeratkan jalinan kerjasama pintar dalam memperjuangkan usaha untuk menangani ketidaksamaan dalam HIV atau AIDS.\nSementara itu, ODHA dan populasi kunci HIV digalakkan untuk menjalani ujian saringan dan mendapatkan rawatan serta mengambil langkah yang sewajarnya dalam melindungi diri dan pasangan daripada dijangkiti penyakit ini. Masyarakat juga disarankan untuk menyertai pelbagai aktiviti yang telah dirancang dan dilaksanakan di seluruh negara sepanjang sambutan Hari AIDS Sedunia ini berlangsung.\nHal ini adalah penting bagi membolehkan masyarakat memahami dan mendalami penyakit HIV atau AIDS. Kerajaan akan terus menerajui kepimpinan dan memberikan komitmen yang penuh dalam agenda negara bagi menangani penularan HIV atau AIDS serta merealisasikan kesaksamaan ke arah matlamat untuk mengakhiri AIDS menjelang tahun 2030." "Masih Banyak Kesalahan Bahasa di Tempat Awam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 24 Februari 2015 telah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mewajibkan pengiklan dan agensi pengiklanan mendapatkan pengesahan bahasa Melayu yang baik dan betul daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebelum memberikan lesen untuk menyiarkan iklan di tempat awam.\nPBT bertanggungjawab memastikan pelaksanaan peruntukan bahasa melalui Undang-undang Kecil Iklan, Garis Panduan Papan Iklan Premis Perniagaan, Garis Panduan Papan Iklan Luar dan lain-lain lagi. Pada asasnya, DBP dan PBT perlu bekerjasama dan berpadu tenaga untuk membentuk, memupuk dan melestarikan persekitaran bandar dan daerah dengan wajah dan citra Malaysia melalui bahasa kebangsaan.\nLantaran itu, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah (DBPWTgh) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Temerloh, Majlis Perbandaran Bentong, dan Majlis Daerah Raub telah melaksanakan program pemantauan bahasa di tempat awam di sekitar Temerloh, Bentong dan Raub.\nProgram ini disertai oleh Munsyi Dewan (Encik Mohd Asri Abdul Razak), pegawai Majlis Perbandaran Temerloh, pegawai Majlis Perbandaran Bentong, pegawai Majlis Daerah Raub dan pegawai DBPWTgh. Pemantauan bahasa kebangsaan di tempat awam ini dilaksanakan memandangkan masih banyak kesalahan bahasa yang dilakukan di tempat tumpuan awam.\nSelain itu, DBP dapat menilai keakuran pemilik iklan mematuhi arahan KPKT dan undang-undang kecil iklan PBT dengan memperagakan iklan yang telah disahkan oleh DBP sahaja. Pemantauan bahasa ini dilaksanakan secara sinergi dengan Majlis Perbandaran Temerloh, Majlis Perbandaran Bentong dan Majlis Daerah Raub.\nPemantauan ini dijalankan bersama-sama dengan Bahagian Pelesenan atau Bahagian Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Temerloh, Majlis Perbandaran Bentong dan Majlis Daerah Raub untuk menguatkuasakan penggunaan bahasa kebangsaan di kawasan pentadbiran masing-masing dan untuk mewajibkan pemohon mendapatkan pengesahan penggunaan bahasa Melayu daripada DBP terlebih dahulu sebelum memohon lesen atau permit iklan.\nHasil dapatan pemantauan mendapati bahawa penggunaan bahasa kebangsaan yang betul pada papan tanda dan papan iklan di sekitar Temerloh, Bentong \u00a0dan Raub secara keseluruhannya memuaskan. Banyak usaha telah dan sedang diteruskan untuk memaparkan ejaan, terjemahan, pemilihan kata dan penggunaan tatabahasa yang betul. Dalam konteks ini, ukuran papan iklan premis perniagaan turut dititikberatkan.\nSesuatu yang amat mengaspirasi ialah penggunaan tulisan Jawi pada nama jalan dan bahagian permulaan papan tanda papan premis perniagaan. Kebanyakan premis perniagaan mengambil inisiatif dengan menukar papan tanda baharu atau menampal pelekat bertulisan Jawi di atas papan tanda sedia ada.\nKerajaan negeri Pahang juga mewajibkan penggunaan tulisan Jawi selari dengan titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada bulan November 2018 supaya tulisan Jawi diperkasakan dan dibudayakan di negeri Pahang. Nama taman perumahan juga menggunakan frasa tempatan dan flora serta menampilkan tulisan Jawi seperti Taman Anggerik, Taman Mawar, Taman Raub Jaya, dan Taman Muhibah.\nWalau bagaimanapun, penggunaan bahasa kebangsaan bersama-sama bahasa asing dan penggunaan bahasa asing sepenuhnya masih terdapat pada papan iklan perniagaan. Ada juga aspek ejaan, tatabahasa dan terjemahan yang tidak tepat di beberapa papan tanda.\n\n\u00a0\nContoh perkataan yang tidak tepat dan menggunakan kombinasi bahasa Melayu dan bahasa asing adalah seperti pasaraya, kedai handphone, tengah hari, hakmilik, urusniaga, temujanji, bag, reverse parking, penyaman udara dan saloon. Terdapat nama jalan dan taman perumahan yang menggunakan tulisan Jawi tetapi angkanya ditulis dalam tulisan Rumi.\n\u00a0\n\u00a0\nProgram pemantauan bahasa kebangsaan di tempat awam seperti yang dilakukan di Temerloh, Bentong dan Raub ini dilaksanakan untuk mengesan kesilapan bahasa yang berlaku atau yang dipamerkan di tempat awam seperti pada papan iklan luar, papan iklan premis perniagaan, gegantung dan kain rentang yang jika tidak dicegah dengan segera akan mencemarkan maruah bahasa kebangsaan. Program ini adalah untuk merakam, menegur dan mengambil tindakan untuk membetulkan kesilapan bahasa dengan kadar yang segera.\nSecara khususnya, program ini dilaksanakan dengan objektif untuk menilai tahap penggunaan bahasa kebangsaan pada papan iklan luar, papan iklan premis perniagaan, gegantung dan kain rentang; menilai keberkesanan penguatkuasaan bahasa kebangsaan pada papan iklan luar, papan iklan premis perniagaan, gegantung dan kain rentang seperti yang diperuntukkan oleh Undang-undang Kecil Iklan yang diterima pakai oleh PBT; mengenal pasti kesilapan bahasa, dan mengenal pasti punca masalah tersebut serta membuat teguran kepada pihak yang berkaitan; dan meningkatkan kerjasama dengan semua pihak, terutamanya pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan dan pihak swasta dengan menawarkan kursus kebahasaan, khidmat nasihat bahasa dan sebagainya untuk mengurangkan kesalahan penggunaan bahasa kebangsaan pada papan iklan atau papan tanda.\nDalam pada itu juga, DBP telah menerbitkan buku Garis Panduan Menamai Syarikat, Bangunan, Kawasan Perumahan, Tempat Awam dan Jalan (2015) sebagai satu daripada usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu melalui pelbagai saluran penyampaian maklumat bahasa kepada masyarakat pengguna bahasa. \nBuku ini mengandungi koleksi nama dan ungkapan yang melambangkan citra kebangsaan dengan ciri identiti nasional berdasarkan kumpulan kata yang merangkumi jenis flora, pakaian, makanan, permainan dan alat muzik di negara ini. Pemilihan kosa kata klasik dan moden dalam bahasa Melayu yang mendukung makna yang baik dan penggunaan bahasa yang betul dan indah selaras dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.\nAkta DBP (Pindaan dan Perluasan) 1995 pula memaktubkan bahawa pemantauan bahasa di tempat awam merupakan tugas dan tanggungjawab DBP untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul supaya digunakan dengan meluas bagi segala maksud melalui arahan, ulasan, nasihat, bantuan, bimbingan, latihan atau pengawasan.\nGaris Panduan Perancangan Papan Iklan Luar 2009 menggariskan bahawa penggunaan bahasa Melayu hendaklah dipastikan betul dan tepat dari segi penggunaan perkataan, susunan ayat, ejaan, tatabahasa dan sebagainya. Penggunaan bahasa yang betul hendaklah merujuk dan mendapat pengesahan daripada DBP.\nJenis papan iklan luar pula meliputi iklan papan tanda (billboard), iklan di bumbung bangunan,\u00a0 iklan di dinding, iklan digital/elektronik (LED), iklan di jejambat, jejantas, di galang, di\u00a0 tiang, iklan pada LRT/MRT/BRT, iklan kain rentang/poster/bunting, iklan di pagar, iklan kotak bercahaya dan pelbagai iklan lain.\nSelain itu, DBP juga menyediakan Khidmat Nasihat Dewan Bahasa dan Pustaka (KNDBP) bagi membantu menyelesaikan masalah dan kekeliruan yang berkaitan dengan hal kebahasaan, kesusasteraan, penerbitan, pengurusan dan khidmat korporat DBP. KNDBP menyediakan perkhidmatan membantu menyelesaikan masalah penggunaan bahasa dari segi tatabahasa, ejaan Rumi atau Jawi, istilah dan tanda baca." "Keselamatan Orang Awam Terjamin dengan Kawal Selia Aktiviti Tenaga Atom di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dalam dunia serba canggih kini, penggunaan tenaga atom telah digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian. Sewajarnya, penggunaan tenaga atom perlu dikawal selia agar tidak berlakunya penyalahgunaan yang berpotensi mengancam kehidupan masyarakat di negara ini.\nUntuk membincangkan hal tersebut dan kepentingannya dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang awam, pihak BERNAMA Radio telah mengundang Pengarah Bahagian Kawal Selia Sinaran, Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia), Encik Nik Mohd Faiz Khairuddin dalam slot Jendela Fikir.\nMenurutnya, aktiviti kawal selia penggunaan tenaga atom atau nuklear adalah untuk memastikan keselamatan dan sekuriti kepada bahan radioaktif tersebut, yakni menjamin kedua-dua tenaga tersebut adalah selamat untuk digunakan dan tidak memberikan kesan yang tidak baik kepada masyarakat.\nSenjata nuklear sebenarnya banyak digunakan bagi tujuan yang tidak aman. Jadi, Malaysia mengawal penggunaannya di negara ini bagi tujuan keamanan semata-mata, termasuklah dalam penggunaan sinaran X-ray dalam bidang perubatan dan pengimbas keselamatan di lapangan terbang.\nKongsinya lagi, pengawalseliaan tenaga atom di Malaysia telah bermula sejak lima dekad lalu pada tahun 1968 dengan rekod penggunaan tenaga sinaran pertama di Hospital Taiping, Perak pada tahun 1897.\n\u201cPada awalnya, kawal selia tenaga atom ini adalah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Benda-Benda Radioakatif 1968 dan Kementerian Kesihatan Malaysia merupakan agensi yang bertanggungjawab terhadap aktiviti kawal selia tenaga atom tersebut,\u201d jelasnya.\nWalau bagaimanapun, memandangkan perkembangan aktiviti tenaga atom di Malaysia yang semakin pesat, pada April 1984, Parlimen telah meluluskan Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) yang diguna pakai sehingga hari ini dalam usaha untuk mengawalnya dengan lebih berkesan.\nMengulas lanjut, beliau berkata bahawa setiap aktiviti kawal selia yang dilakukan oleh Atom Malaysia perlu berpaksikan peruntukan perundangan. Kandungan dalam perundangan tersebut hendaklah memastikan keselamatan dan keadilan kepada tiga pihak utama yang terlibat, iaitu masyarakat, pemain industri dan kerajaan.\n\u201cPihak yang hendak terlibat dalam penggunaan tenaga atom di negara ini perlulah mempunyai lesen bagi memastikan keselamatan bukan sahaja kepada masyarakat, malah kepada individu tersebut sebenarnya,\u201d ujarnya.\nAtom Malaysia yang mempunyai sejumlah 180 orang pekerja dengan 13 orang daripadanya bertanggungjawab dalam melakukan penyeliaan pemeriksaan secara berkala, mengejut dan berasaskan aduan yang diterima dalam usaha mengawal selia penggunaan tenaga atom di negara ini.\nPada tahun lepas, sebanyak lima kes berkaitan pelbagai kesalahan penggunaan tenaga ini telah direkodkan. Berdasarkan peruntukan, pihak dan individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM100 000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.\n\u201cJika orang awam yang menemukan atau terjumpa bahan yang mempunyai simbol radioaktif ini, mereka perlu bertenang dan terus melaporkan kepada pihak berkuasa . Atom Malaysia akan mengambil tindakan sepantas mungkin kerana pengurusan bahan ini perlu dilakukan dalam tempoh 24 jam,\u201d katanya lagi." "Sains di Sebalik Kelumpuhan Tidur\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKita sering mendengar kisah seseorang berasa dadanya ditindih oleh objek berat dan badan tidak boleh bergerak ketika terjaga daripada tidur. Istilah yang diguna pakai bagi menggambarkan keadaan ini ialah kelumpuhan tidur (sleep paralysis).\nKelumpuhan tidur ialah ketidakupayaan otak dan badan untuk bergerak walaupun minda dalam keadaan sedar. Fenomena ini sering berlaku apabila individu hendak tidur atau baru terjaga. Hal ini bukanlah situasi yang kerap berlaku dan kebiasaannya akan berakhir dalam waktu yang singkat. Kadangkala, kelumpuhan tidur diiringi dengan perasaan takut, panik dan seakan-akan bermimpi.\nMenurut kajian Olunu dan rakan-rakan pada tahun 2018, hanya lapan peratus daripada populasi umum pernah mengalami fenomena ini. Daripada jumlah tersebut, kategori pelajar menyumbang sebanyak 28 peratus dan menjadi kumpulan kedua tertinggi. Kelumpuhan tidur lebih kerap berlaku dalam kalangan pesakit psikiatri (32 peratus).\nPelbagai teori dari serata dunia telah dikaitkan dengan kejadian ini. Misalnya, dalam komuniti Melayu dan di Mesir, kelumpuhan tidur dianggap sebagai gangguan syaitan atau jin. Bagi masyarakat di China, kejadian ini dihuraikan sebagai lawatan oleh hantu dan akan membawa nasib malang kepada individu tersebut.\nSementara itu, masyarakat United Kingdom menganggap kelumpuhan tidur sebagai kehilangan roh semasa tidur dan gagal untuk kembali ke dalam badan setelah sedar. Komuniti di Itali pula menerangkan kelumpuhan tidur sebagai kunjungan ahli sihir atau makhluk ghaib yang menyerang ketika baring dalam keadaan terlentang.\nSecara umumnya, terdapat banyak mitos yang menjelaskan kelumpuhan tidur mengikut budaya masing-masing. Sejauh manakah kebenaran mitos ini akan dirungkai melalui penerangan dari sudut saintifik? Adakah fenomena ini berkait dengan kerohanian atau hanyalah sekadar gangguan tidur?\n\u00a0\nKelumpuhan Tidur\nKelumpuhan tidur boleh berlaku sebelum tidur (hipnagogik) atau semasa terjaga daripada tidur (hipnopompik). Terdapat dua jenis kelumpuhan tidur, iaitu yang biasa dan yang diiringi halusinasi.\nKelumpuhan tidur yang biasa hanya mengehadkan pergerakan anggota badan dalam jangka masa yang pendek, manakala kelumpuhan tidur berhalusinasi akan berlarutan sehingga beberapa minit. Tahap halusinasi juga boleh dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu intruder, incubus dan vestibular.\nHalusinasi intruder melibatkan perasaan takut, deria pendengaran dan visual. Individu akan berasa atau nampak kehadiran makhluk lain dalam bentuk yang menakutkan. Halusinasi incubus pula menyebabkan rasa tekanan pada dada dan selalunya diiringi dengan sensasi tercekik atau sesak nafas. Pengalaman halusinasi kelumpuhan tidur yang lebih ekstrem ialah halusinasi vestibular, iaitu ilusi pergerakan yang individu itu seakan-akan berasakan rohnya keluar daripada badannya.\nSecara saintifiknya, fenomena kelumpuhan tidur berkait rapat dengan fasa tidur gerak mata cepat (REM). Dalam fasa REM, mimpi sering berlaku kerana otak masih aktif dan seperti dalam keadaan sedar. Oleh sebab otak masih aktif, tekanan darah, kadar denyutan jantung dan pernafasan akan meningkat hingga menyebabkan seseorang itu mungkin bergerak.\nBagi mengelakkan pergerakan yang tidak diingini dan berbahaya daripada berlaku semasa bermimpi, otot badan akan \u201cdikunci\u201d dan menjadi lumpuh. Kelumpuhan ini juga dikenali sebagai atonia otot. Keadaan ini adalah ciri semula jadi bagi tidur REM biasa yang mungkin didorong oleh perencatan sistem neurotransmiter asid amino butirik Gamma (GABA) dan glisin.\n\u00a0\nFaktor Kelumpuhan Tidur\nPunca sebenar di sebalik kelumpuhan\u00a0 tidur adalah tidak diketahui. Namun begitu, terdapat kajian yang telah mengenal pasti beberapa faktor yang mungkin menyumbang kepada masalah tersebut.\nAntaranya termasuklah penggunaan dadah, tekanan, trauma, pengaruh genetik serta tabiat tidur yang tidak teratur. Selain itu, terdapat bukti yang menyokong perkaitan antara kelumpuhan tidur dengan masalah mental seperti gangguan bipolar dan skizofrenia.\nKajian oleh Awadalla dan rakan penyelidik melaporkan bahawa antara 30 hingga 50 peratus individu yang menghidap narkolepsi pernah mengalami kelumpuhan tidur. Narkolepsi ialah gangguan tidur kronik yang menyebabkan seseorang itu tidur secara berlebihan pada waktu siang dan mengakibatkan tidur malam terganggu. Bagi kes kelumpuhan tidur yang terpencil, hal itu sering berlaku dalam kalangan pelajar dan individu yang mengalami keresahan. Perkara ini mungkin disebabkan oleh pola tidur yang tidak teratur.\nBeberapa kajian mendapati bahawa sejarah penderaan seksual sewaktu zaman kanak-kanak juga akan menyebabkan kelumpuhan tidur. Episod ini akan diiringi dengan halusinasi visual, sentuhan dan pendengaran. Individu yang terkesan menyimpulkan keadaan tersebut sebagai mimpi ngeri dan menunjukkan gejala kemurungan.\nSelain itu, kecelaruan stres postraumatik (PSTD) mampu \u00a0menjejaskan kualiti dan corak tidur lalu menyebabkan kelumpuhan tidur. Dalam konteks ini, kelumpuhan tidur dianggap sebagai mekanisme tindak balas trauma.\nMisalnya, komuniti Kemboja banyak menghadapi kelumpuhan tidur akibat trauma. Mereka juga dilaporkan mempunyai sejarah trauma yang teruk dan gangguan panik kerana pengalaman pelarian semasa peperangan. Selain itu, peratusan kelumpuhan tidur dalam kalangan masyarakat Afrika-Amerika yang menghidapi gangguan panik juga adalah tinggi. Kajian menunjukkan hal ini mungkin disebabkan oleh faktor genetik dan persekitaran.\n\u00a0\nRawatan Dan Langkah Pencegahan\nKelumpuhan tidur boleh dikatakan sebagai fenomena yang jarang-jarang berlaku, justeru keadaan itu tidak memerlukan rawatan kecuali bagi individu yang mengalami episod yang berulang-ulang. Oleh sebab kelumpuhan tidur diakibatkan oleh pelbagai faktor seperti masalah tidur, keresahan atau isu berkaitan psikologi, seseorang itu perlu mengenal pasti punca sebenar sebelum mencari rawatan.\nBagi kes kelumpuhan tidur yang terpencil, seseorang itu boleh mendapatkan rawatan psikoterapeutik yang melibatkan terapi meditasi dan relaksasi bersama-sama pakar yang bertauliah. Seseorang itu juga perlu cakna bahawa fenomena ini tidak memberikan sebarang kesan berbahaya selepas episod yang dialami.\nTerdapat juga rawatan psikofarmakologi, khususnya untuk pesakit yang mengalami masalah kesihatan mental. Antara contoh ubat-ubatan yang boleh diberi termasuklah antidepresan seperti trisiklik seperti saranan doktor.\nMencegah lebih baik daripada merawat. Hal ini juga boleh diaplikasikan dalam konteks kelumpuhan tidur. Seseorang itu boleh diberikan kesedaran tentang ilmu berkaitan kebersihan tidur yang betul.\nKebersihan tidur ialah amalan atau rutin persekitaran yang menggalakkan individu untuk tidur tanpa gangguan. Antara amalan yang boleh dipraktikkan termasuklah mengelakkan pengambilan kafein atau alkohol sebelum waktu tidur serta tidur pada waktu siang secara berkala.\nBeberapa kajian yang pernah dilaksanakan turut menemui perkaitan antara kualiti tidur dengan kejadian kelumpuhan tidur. Oleh itu, corak tidur yang teratur adalah penting untuk memastikan tidur dan rehat yang mencukupi. Suasana dalam bilik tidur perlulah senyap, gelap dan selesa. Seseorang itu turut disarankan untuk mengelakkan daripada melakukan sebarang aktiviti fizikal yang mencabar sebelum tidur.\n\u00a0\nNur Sabrina Mustafa Kamal ialah Pembantu Penyelidik di di Institut Biologi Molekul Perubatan (UMBI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).\nGoh Ying Xian ialah Pegawai Penyelidik di UMBI, UKM." "Raja Muda Perlis Dipersembahkan Penghormatan Felow Kehormat College of Physicians Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dipersembahkan penghormatan sebagai penerima pertama anugerah Honorary Fellow of the College of Physicians Malaysia dalam International Annual Scientific Congress 2022, semalam.\nBaginda yang juga Penaung DiRaja Persatuan Pakar Perubatan Dalaman Maju dan Akut serta Ultrabunyi Malaysia (MAAIMUSS) berkenan menerima tauliah pengisytiharan tersebut daripada Presiden College of Physicians Malaysia, Datuk Seri Profesor Dr. Paras Doshi.\nAnugerah tersebut merupakan pengiktirafan dan penghargaan atas pelibatan jitu baginda dalam menaungi MAAIMUSS dan menjadikan ciri penjagaan kesihatan Perubatan Dalaman Maju dan Akut yang bermula di Hospital Tuanku Fauziah dikembangkan dengan jayanya ke beberapa buah hospital lain di negara ini.\nAntara tetamu kehormat yang turut hadir mengiringi baginda dalam majlis penuh bersejarah itu termasuklah Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Harjeet Singh Hardev Singh; Master Academy of Medicine, Profesor Dr. Rosmawati Mohamed; dan 750 peserta kongres dari dalam dan luar negara." "Memelihara Khazanah Alam Tanah Bencah Setiu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKawasan tanah bencah mempunyai sifat ekologi yang sangat dinamik. Kawasan ini sentiasa dibanjiri air dengan persekitarannya mengalami perubahan saliniti dan kelembutan sedimen secara berterusan, di samping mempunyai kandungan oksigen yang rendah.\nKawasan tanah bencah juga ialah kawasan yang kaya dengan tumbuh-tumbuhan yang mempunyai keupayaan untuk mengawal aliran air, menstabilkan struktur tanah bagi menghalang daripada berlakunya banjir dan membekalkan sumber air yang bersih. Kawasan tanah bencah terbukti membawa pelbagai kebaikan kepada manusia dan alam sekitar dalam bentuk perkhidmatan ekosistem dari segi pembekalan sumber makanan, air dan udara yang bersih, melindungi ekosistem dan biodiversiti. Di samping itu, tanah bencah memelihara identiti kebudayaan serta menjadi sumber ekonomi kepada komuniti yang tinggal berdekatan atau di kawasan tanah bencah itu.\nSelain meningkatkan kualiti hidup manusia, kawasan hutan di tanah bencah juga berupaya untuk mengatur kualiti persekitarannya dengan sendiri sehingga mampu mengurangkan kesan perubahan iklim secara signifikan. Sebagai contohnya, tanah bencah terkenal dengan kedudukannya dalam kitaran karbon dengan mengawal tahap gas berbahaya seperti karbon dioksida, metana dan hidrogen sulfida. Kesemua gas ini akan diserap atau diperangkap dalam tanah dan menjadikannya sebagai \u201ckolam karbon\u201d.\nSituasi ini menyebabkan ekosistem tanah bencah dikenali sebagai penyekat dan pembebas karbon kerana mengandungi kandungan karbon yang terkumpul sejak bertahun-tahun lamanya. Disebabkan itu, penghapusan ekosistem tanah ini akan menyebabkan penguraian atau pengoksidaan bahan organik dan berlakunya perlepasan karbon yang terkumpul ini ke atmosfera.\nEkosistem tanah bencah juga mempunyai kepelbagaian flora dan fauna yang menjadi habitat, pusat migrasi dan pembiakan pelbagai spesies. Di samping itu, tanah bencah juga terkenal dengan nilai estetika dan sering dikaitkan dengan elemen ketenangan jiwa atau emosi. Pemandangan dan persekitaran semula jadi di kawasan ini yang begitu aman dan indah juga menjadi tarikan pelancong dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.\nKawasan tanah bencah yang popular di Malaysia ialah Tanah Bencah Setiu yang terletak di Terengganu. Dengan keluasan 23 000 hektar, kawasan ini menjadi satu-satunya kawasan tanah lembab di Malaysia yang mempunyai sembilan ekosistem yang saling berhubungan, iaitu laut, pantai, lumpur, laguna, muara, sungai, pulau, hutan kerangas dan paya bakau.\nKepelbagaian ekosistem di Tanah Bencah Setiu menjadikan kawasan ini seperti belukar hutan renek Afrika. Tanah Bencah Setiu bukan sahaja unik, malah menjadi kawasan yang cantik dan kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna yang terdiri daripada 29 spesies mamalia, 36 spesies reptilia dan amfibia, 161 spesies burung, 32 spesies ikan dan 50 spesies rama-rama.\nSatu daripada kepelbagaian spesies flora yang boleh ditemukan di Tanah Bencah Setiu ialah pokok berus mata buaya. Terdapat empat induk spesies ini ditemukan di Pulau Layat yang dipercayai berumur lebih daripada 10 tahun. Selain itu, antara spesies flora unik yang banyak terdapat di sini termasuklah pokok kepala beruk yang juga dikenali sebagai pokok sarang semut yang ditemukan di Pulau Telaga Tujuh.\nTanah Bencah Setiu ialah tempat pembiakan terbesar tuntung di Malaysia selain menjadi tapak pendaratan\u00a0penyu hijau yang kini di ambang kepupusan. Kedua-dua spesies terancam ini masih boleh ditemukan di Tanah Bencah Setiu.\nTanah Bencah Setiu juga menjadi pusat bekalan ikan kerapu dan benih tiram yang terbesar di Semenanjung Malaysia dengan pengeluaran sehingga 60 peratus yang melibatkan kawasan zon akuakultur melalui ternakan sangkar air dan ternakan kolam. Kewujudan banyak flora dan fauna di sini membuktikan kawasan Tanah Bencah Setiu masih terpelihara daripada sebarang pencemaran.\nTanah Bencah Setiu menjadi tempat paling sesuai untuk mempelajari perhubungan antara manusia dengan alam sekitar dan kelangsungan hidup masyarakat. Terdapat juga cadangan bahawa keseluruhan Tanah Bencah Setiu dan sebahagian daripada hutan Gelam yang terletak bersebelahan diwartakan dan dibangunkan sebagai taman negeri bagi memastikan keindahan, kemampanan dan kelestarian alam terus terpelihara bagi tujuan ekopelancongan.\nCiri-ciri semula jadi tanah lembap dan elemen di Tanah Bencah Setiu turut mempunyai potensi ekopelancongan yang besar. Antara aktiviti ekopelancongan yang sesuai dilakukan termasuklah melihat keindahan alam semula jadi dan memancing rekreasi. Masyarakat tempatan di sini yang kebanyakannya bergantung hampir sepenuhnya kepada sektor perikanan untuk kehidupan mereka juga boleh menjana pendapatan alternatif melalui industri ekopelancongan.\nBagi membolehkan sektor ekopelancongan terus berjaya dan mampan di Tanah Bencah Setiu, kesedaran serta komitmen komuniti tempatan adalah diperlukan. Kesedaran tentang betapa pentingnya untuk terus memelihara khazanah alam ini boleh dilakukan dengan membantu dalam aktiviti penyelenggaraan di kawasan ini secara berkala supaya daya tarikannya dapat terus dikekalkan. Kempen kesedaran juga perlu dilaksanakan secara berterusan kepada komuniti setempat untuk menjamin manfaat kawasan tanah lembap bagi meningkatkan sosioekonomi mereka.\nDalam konteks peranan agensi kerajaan negeri yang berkenaan, pelan komprehensif perlu diwujudkan melalui program perlindungan, pemuliharaan, penjagaan dan pengurusan ekosistem bersepadu untuk membimbing komuniti setempat. Pembangunan yang tidak teratur oleh sektor yang berbeza-beza akan menyebabkan kesan yang buruk kepada biodiversiti tanah lembap dan sumber asli lain di sini.\nBagi memastikan kemampanan dan kelestarian alam semula jadi di Tanah Bencah Setiu, pembangunan kemudahan infrastruktur telah ditingkatkan yang membabitkan fasiliti seperti pelantar laluan sepanjang 550 meter di Pengkalan Gelap, pusat penerangan di Kampung Mangkuk, empat jeti terapung di sekitar pulau kecil Tanah Bencah, dua jeti di Pulau Gemia dan Pulau Ubi untuk kemudahan penduduk setempat dan pelancong melakukan aktiviti mencari kepah serta dua jeti di Pulau Layat dan Pulau Telaga Tujuh khusus untuk pengkaji dan pelajar melakukan penyelidikan. Selain itu, dua lagi fasiliti yang dinaik taraf ialah jeti pelancong di Kampung Mangkuk dan jeti nelayan di Kampung Gong Batu.\nDi samping itu, pelbagai projek pembangunan komuniti bagi meningkatkan ekonomi masyarakat setempat melalui ekopelancongan di Tanah Bencah Setiu turut dirangka. Antaranya termasuklah melatih penduduk tempatan menjadi pemandu pelancong dan menganjurkan kursus pengusaha inap desa.\nProjek lain yang dilaksanakan di Tanah Bencah Setiu termasuklah menaik taraf produk tempatan serta membuat penjenamaan produk yang akan membantu pengusaha dari segi jualan dan pemasaran. Kebanyakan kampung di sekitar kawasan tanah lembab ini terlibat dalam industri akuakultur bagi menghasilkan produk makanan tradisional yang terkenal di Terengganu, iaitu budu dan hidangan makanan laut berasaskan ikan seperti keropok, satar, bebola ikan, ikan bilis kering dan belacan." "Kadar Kitar Semula Malaysia Meningkat Tahun Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah menganjurkan Malam Apresiasi Keluarga 3R bersempena dengan Hari Kitar Semula Kebangsaan (HKSK) 2022 di Dewan Harum Manis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, Perlis, semalam.\nDalam majlis tersebut, turut diumumkan kadar Kitar Semula Kebangsaan 2022 yang meningkat kepada 33.17 peratus berbanding dengan sasaran 32.5 peratus yang jumlah barangan kitar semulanya mencecah 4.626 juta tan.\nMajlis tersebut yang berlangsung dengan meriah telah dirasmikan oleh Pengerusi SWCorp, YBhg. Datuk Rizalman Dato\u2019 Mokhtar. Beliau menyatakan bahawa sambutan HKSK ini disambut sebagai sambutan tahunan dalam usaha pihaknya untuk terus memberikan komitmen bersama-sama masyarakat dalam usaha memelihara bumi.\nTambah beliau, HKSK mula disambut pada 11 November 2015 yang dianjurkan bagi menghargai dan mengiktiraf semua pihak yang terlibat dalam kelestarian dan pemeliharaan bumi.\nPada tahun ini, sambutan HKSK bertemakan Keluarga 3R. Pemilihan tema ini adalah kerana pembudayaan amalan 3R dalam institusi kekeluargaan perlu diperkukuh agar segala yang dirancang dan diusahakan oleh kerajaan dapat dilaksanakan pada peringkat mikro dan seterusnya mampu menyumbang ke peringkat global.\nKatanya lagi, pembudayaan 3R yang dijalankan di setiap rumah akan mewujudkan sebuah masyarakat yang bertanggungjawab dan kebersamaan dalam memelihara alam sekitar daripada terus tercemar. Pendidikan kesedaran awam yang bermula daripada keluarga juga sangat diperlukan dalam cabaran negara menangani masalah pengurusan sisa pepejal yang semakin membimbangkan.\nPemeliharaan alam sekitar dan amalan kitar semula adalah perkara yang amat penting dalam usaha negara mencapai pembangunan mampan dan seimbang.\nMenurut beliau, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga sedang merangka dasar pengurusan sisa pepejal ke arah ekonomi kitaran yang menekankan amalan mampan (sustainable), penggunaan (consumption) dan pengeluaran (production).\nTurut berlangsung dalam majlis ini ialah Pelancaran Pertandingan Reka Bentuk from Waste to Wealth Innovation (WAWI) Tahun 2023. Pertandingan yang akan bermula pada 2 Januari 2023 hingga 6 Mac 2023 yang bertemakan \u201cAliran Fesyen Lestari\u201d ini diadakan bagi mencungkil idea kreatif dan inovatif bakat baharu para pereka dan pencipta dalam kalangan masyarakat Malaysia.\nPada masa yang sama, turut diadakan penyampaian hadiah kepada penerima Anugerah Kutipan Tertinggi Program Amal Jariah Masjid Negeri Perlis, Anugerah Kutipan Barangan Kitar Semula Tertinggi DTRC Negeri Perlis, Anugerah Penarafan Bintang Pengurusan Sisa Pepejal Sektor Komersial, Perindustrian dan Keinstitusian, Anugerah Penarafan Bintang Kemudahan Pengurusan Sisa Pepejal, Anugerah Agensi Terbaik World Cleanup Day 2022, Anugerah Inisiatif Pensijilan Sekolah Bersih dan Anugerah Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PerKISS) Peringkat Kebangsaan.\nMajlis Malam Apresiasi Keluarga 3R ini boleh ditonton secara dalam talian melalui Facebook rasmi SWCorp." "Tingkatkan Kesedaran Memulihara Ekosistem Bukit Batu Kapur, Gua dan Kars\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional (NCTF), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia telah menganjurkan Webinar NCTF 1.0 yang bertemakan \u201cKonservasi Ekosistem Bukit Batu Kapur, Gua dan Kars yang berlangsung secara dalam talian hari ini.\nWebinar yang diadakan ini adalah untuk memberikan pendedahan dan kesedaran mengenai ekosistem bukit batu kapur, gua dan kars yang unik serta mempunyai tinggi nilai biodiversiti kepada masyarakat umum, pihak berwajib dan pemegang taruh berkenaan. Selain itu, webinar ini juga berkongsikan aktiviti konservasi yang telah dijalankan dan cadangan pelaksanaan pemeliharaan bagi memastikan biodiversiti di kawasan ini terus dilindungi dan dipelihara.\nWebinar ini dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Kanan, Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia, Puan Norsham Abdul Latip.\nBeliau menerangkan bahawa NCTF ditubuhkan bagi membiayai penyelidikan, pembangunan, pengurusan, perlindungan, adaptasi dan pengurangan kepada perubahan iklim, kesedaran serta usaha konservasi di dalam negara.\nSatu daripada objektif penubuhan NCTF ialah menyediakan mekanisme untuk menerima dan menyalurkan dana bagi menyokong pengurusan sumber asli dan konservasi biodiversiti.\nWebinar ini disampaikan oleh dua orang panel, iaitu Pegawai Penyelidik dari Program Biodiversiti Flora, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Puan Rafidah Abdul Rahman dan Timbalan Pengarah dari Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Malaysia Sabah, Dr. Liew Thor Seng.\nPuan Rafidah Abdul Rahman menyampaikan perkongsian bertajuk \u201cKe Arah Strategi dan Dasar Pemuliharaan Bukit Batu Kapur di Semenanjung Malaysia: Memahami dan Mendokumentasi Fokus Biodiversiti Tumbuhan di Bukit Batu Kapur, Kelantan (Fasa 1), manakala Dr. Liew Thor Seng menyampaikan perkongsian dengan tajuk \u201cPemuliharaan Ekosistem Batu Kapur di Malaysia\u201d.\nMenurut Puan Rafidah Abdul Rahman, terdapat 14 peratus spesies flora batu kapur di Semenanjung Malaysia dan sesetengah spesies daripadanya hanya terdapat di satu bukit batu kapur sahaja.\n\u201cNamun begitu, kesemua spesies ini terancam disebabkan oleh eksploitasi ke atas kawasan batu kapur seperti aktiviti kuari, pembinaan empangan hidroelektrik, penempatan rumah di kaki bukit batu kapur, tiada zon penampan dan ekopelancongan,\u201d ujarnya lagi.\nOleh itu, beliau dan pasukan penyelidiknya berusaha dalam menentukan status flora batu kapur, mendokumentasikan secara terperinci akan spesies tumbuhan yang terancam dan kawasan panas biodiversiti serta menubuhkan data flora batu kapur yang dapat diakses dengan mudah.\nMenurut Dr. Liew Thor Seng pula, oleh sebab ekosistem kars dan batu kapur yang semakin terancam, sebanyak 69 spesies haiwan berada dalam keadaan terancam secara kritikal dan 28 daripadanya adalah siput tanah mikro.\n\u201cSebagai contohnya, keadaan di kawasan batu kapur di Bukit Sagu, Pahang semakin terancam akibat aktiviti kuari sehingga menyebabkan kemusnahan yang tidak dapat dipulihkan dan kehilangan habitat bagi spesies endemik,\u201d katanya.\nOleh itu, beliau menjalankan projek dengan objektif untuk mewujudkan pangkalan data kars batu kapur pertama di Malaysia yang dipanggil MYKARST yang menyediakan maklumat batu kapur yang terancam dan memerlukan perlindungan segera.\nAntara aktiviti yang dijalankan ialah mengemas kini data bukit batu kapur sedia ada dalam peta sistem maklumat geografi, mengukur parameter fizikal bukit batu kapur berdasarkan keluasan, darjah pengasingan dan corak taburan kawasan batu kapur serta mengukur parameter ancaman berdasarkan kehadiran atau ketiadaan kuari dan tahap gangguan kepada habitat dari segi degradasi hutan kawasan penampan.\nBeliau berharap hasil projek ini dapat memudahkan rancangan negara dalam pemuliharaan bukit batu kapur demi kepelbagaian biologi yang tidak boleh ditukar ganti." "Orkid Sarawak Warisan yang Perlu Dipulihara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Orkid Sarawak merupakan spesies yang unik dan menarik, namun habitatnya semakin terancam. Sebuah pertubuhan yang bergerak aktif di negeri Sarawak, iaitu Persatuan Orkid Sarawak (SARORSO) telah berusaha memulihara spesies tersebut dengan mengambil inisiatif untuk mendokumentasikan spesies orkid di negeri Sarawak.\nSARORSO berserta rombongan yang diketuai oleh Presidennya, Puan Zurenawatte Zaidil telah mengadakan kunjungan hormat ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak. Dalam pertemuan tersebut, pihak SARORSO berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dalam penerbitan buku tentang orkid Sarawak yang dianggarkan berjumlah 2500 jenis.\nMenurut pengasas SARORSO, Yang Mulia Tengku Hajah Auraroza Tengku Abraham, cabaran yang dihadapi dalam memastikan kelestarian orkid di negeri Sarawak antaranya adalah pendidikan tentang cara untuk pemuliharaan orkid, serangan parasit dan sebagainya.\nTambah beliau, orkid boleh dijadikan sebagai sumber industri sekiranya diuruskan dengan betul dan berupaya menjana pendapatan yang lumayan kepada pemiliknya.\nDalam membangunkan industri ini, SARORSO telah bekerjasama dengan pihak sekolah dan beberapa buah agensi kerajaan di sekitar Kuching dalam usaha meningkatkan pemuliharaan dan keusahawanan dengan menggunakan teknologi terkini sebagai asas yang kukuh untuk menjayakan industri florikultur orkid di Sarawak.\nMengulas lebih lanjut tentang hal ini, beliau menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak juga menyokong penuh pemuliharaan ini dengan menggerakkan projek komuniti melalui pihak berkuasa tempatan.\nSebagai langkah permulaan, gerak kerja menanam spesies orkid di taman perumahan dan kampung telah dilakukan dalam usaha memberikan kesedaran terhadap pemuliharaan orkid sekali gus mengindahkan kawasan tersebut.\nDalam merealisasikan hasil kunjungan tersebut, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai mengalu-alukan kerjasama antara DBP dengan SARORSO untuk mewujudkan sebuah taman orkid di persekitaran DBP serta mengadakan wacana berkaitan dengan orkid Sarawak dengan pelibatan beberapa buah agensi terpilih di negeri Sarawak.\nDBP juga menyokong hasrat SARORSO untuk melakukan pendokumentasian spesies orkid Sarawak yang dirancang digerakkan pada tahun hadapan.\nTurut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Ja\u2019afar Haji Hamdan, Ketua Unit Penerbitan DBP Cawangan Sarawak, Puan Hajijah Haji Mainol dan beberapa ahli persatuan SARORSO." "KKM Bangunkan Program Perkongsian Perkhidmatan Pembedahan Jantung Kanak-kanak Kompleks\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPulau Pinang \u2013 Program Miracle Baby yang diusahakan bagi mengatasi masalah kekurangan kepakaran dalam pembedahan jantung berlubang dan kongenital di Malaysia telah dilancarkan secara rasminya di Hospital Pulau Pinang (HPP), hari ini.\nProgram Miracle Baby\u00a0 merupakan hasil kerjasama strategik antara KKM, Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR) dengan Hospital Sri Sathya Sai Sanjeevani (SSSSH), India bagi membolehkan perkhidmatan pembedahan jantung kanak-kanak kompleks dijalankan di HPP.\nIdea pelaksanaan program ini diusulkan oleh Canselor UTAR, YBrs. Tun Dr. Ling Liong Sik setelah mengadakan lawatan ke SSSSH pada tahun 2016 dan disusuli dengan lawatan oleh pakar kardiologi pediatrik KKM ke SSSSH di Naya Raipur pada tahun 2017.\nMenurut Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Seri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan medianya hari ini, kerjasama strategik antara KKM, UTAR dengan SSSSH India ini bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan pembedahan jantung kompleks kanak-kanak yang berkualiti dan akan diteruskan sebagai satu daripada inisiatif bantuan kemanusiaan, keprihatinan dan kebajikan pesakit dan ibu bapa.\nMelalui program Miracle Baby ini, pakar jantung di HPP akan bekerjasama dengan pasukan pembedahan dari SSSSH India untuk melakukan pembedahan jantung, manakala pihak UTAR pula akan menyelaraskan urusan logistik dengan bantuan sokongan daripada orang awam.\nTambah beliau, sebelum ini KKM juga telah menaja pesakit untuk menjalani rawatan pembedahan di luar negara dengan kerjasama badan bukan kerajaan dari dalam negara dan luar negara untuk menangani kekangan slot rawatan pembedahan di Malaysia.\nMelalui usaha ini, para pakar dan pihak pengurusan KKM, SSSSH dan UTAR bersetuju untuk meneruskan misi kemanusiaan bagi membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan memerlukan rawatan pembedahan jantung sekali gus memastikan kelestarian perkhidmatan pembedahan jantung kanak-kanak di negara ini.\nProgram ini dijangkakan memberikan manfaat kepada kanak-kanak tempatan dan ibu bapa dengan kos minimum serta membolehkan pemindahan pengetahuan, kepakaran, kemahiran serta latihan kepada pakar dan paramedik di KKM. Aktiviti ini juga diharapkan dapat memangkin hasrat KKM untuk memulakan perkhidmatan pembedahan jantung kanak-kanak dalam skala yang lebih besar di Hospital Seberang Jaya yang dijangkakan siap pada tahun hadapan.\nMengulas lebih lanjut tentang perkara ini, beliau menyatakan bahawa program ini membuktikan komitmen dan visi KKM untuk memperkasakan perkhidmatan pembedahan jantung kanak-kanak dan memastikan aktiviti latihan kepakaran bedah tempatan, terutamanya melibatkan jantung kanak-kanak berjalan dengan lancar.\nOleh yang demikian, KKM mengundang para pakar dari SSSSH India ke Malaysia secara berkala dengan objektif berkongsikan kepakaran pembedahan jantung dengan menjalankan pembedahan untuk 15 orang hingga 20 orang kanak-kanak bagi setiap lawatan.\nPihak KKM, UTAR dan SSSSH yakin bahawa program ini akan berjaya membantu usaha berterusan KKM untuk menambah baik perkhidmatan kesihatan, terutamanya dalam pembedahan jantung kanak-kanak demi kesejahteraan rakyat. KKM juga akan memberikan tumpuan terhadap kesihatan rakyat di negara ini dan sentiasa mengambil inisiatif untuk memperkasakan perkhidmatan kesihatan selaras dengan visi kementerian untuk menggembleng tenaga ke arah kesihatan negara yang lebih baik.\nProgram ini telah bermula sejak 28 November 2022 dan sedang berlangsung selama dua minggu. Hingga hari ini, sebanyak 12 orang pesakit termasuklah tiga orang pesakit dari Sabah telah dihantar ke HPP untuk menjalani rawatan yang selanjutnya.\nProgram ini dijayakan oleh pasukan Pakar Pembedahan Kardiotorasik HPP yang diketuai oleh YBhg. Dato\u2019 Dr. Basheer Ahamed Abdul Kareem dan dibantu oleh YBrs. Dr. Abu Yamin Kamis (Pakar Pembedahan Kardiotorasik), YBrs. Dr. Mohamad Hanafi Mohd (Pakar Anestesia Jantung) dan YBrs. Dr. Mohammad Tamim Jamil (Pakar Jantung Pediatrik).\nPasukan dari SSSSH pula diketuai oleh YBrs. Dr. Krishna Manohar (Pakar Bedah Jantung) dan YBrs. Dr. Subramanian Chellappan (Pakar Anestesia Kardiak Pediatrik)." "Planet Marikh Kelihatan Terang Hari Ini Susulan Fenomena Istiqbal\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Rakyat Malaysia khususnya peminat astronomi berpeluang menyaksikan fenomena istiqbal Marikh pada hari ini setelah melihat fenomena yang sama berlaku kepada planet Musytari pada 26 September 2022 lalu.\nPermukaan Marikh yang menghadap bumi akan disinari dengan cahaya matahari sepenuhnya dan kelihatan terang daripada kedudukan biasa pada hari ini.\nFenomena istiqbal atau disebut juga sebagai oposisi terjadi apabila sesebuah planet itu menghadap bumi dalam keadaan tepat dan bertentangan dengan matahari yang berada dalam garisan yang sama di belakang bumi.\nPlanetarium Negara menjangkakan bahawa planet Marikh akan berada di kedudukan istiqbal pada 8 Disember 2022, pukul 1.35 petang.\nMulai pukul 7.34 malam pada hari yang sama, planet Marikh kelihatan muncul di buruj Taurus dan akan berada di langit hingga pukul 6.35 pagi keesokan harinya. Planet ini juga dijangkakan berada pada kedudukan paling tinggi, yakni 68 darjah di langit sebelah utara pada jam 1.05 pagi 9 Disember 2022.\nPlanet Marikh pada kebiasaannya akan mengalami fenomena unik ini dalam tempoh setiap 26 bulan. Kali terakhir fenomena ini berlaku pada planet ini adalah pada 13 Oktober 2020 dan seterusnya fenomena ini dijangkakan berlaku pada 15 Januari 2025.\nPlanet Marikh akan kelihatan sepanjang malam di kawasan buruj Taurus pada jarak sejauh 1.53 unit astronomi (AU) dari matahari atau hampir 0.55 AU dari bumi.\nWalau bagaimanapun, rakyat Malaysia masih boleh melihat planet Marikh selepas berlakunya fenomena istiqbal. Hal ini dikatakan demikian kerana planet Marikh masih kelihatan di langit pada waktu malam, terutamanya di ufuk timur selepas matahari terbenam.\nImej planet Marikh akan tampak seperti titik terang kemerahan dan tidak berkelip sehingga menghala ke arah barat menjelang pertengahan Ogos 2023.\nPlanet Marikh merupakan planet yang keempat dari matahari dengan saiznya adalah separuh berbanding dengan bumi. Planet ini mudah dilihat kerana warna kemerahan pada permukaannya.\nSelain itu, planet Marikh mempunyai dua bulan sebagai satelit semula jadi, iaitu Phobos dan Delmos yang saiznya cukup kecil seperti menyerupai asteroid.\nMasyarakat diharapkan agar tidak melepaskan peluang untuk melihat sendiri keajaiban ini yang jarang-jarang berlaku selain membolehkan para penyelidik dan peminat astronomi untuk mencerap planet tersebut kerana kedudukannya berada pada posisi yang terbaik." "Fahami Talasemia demi Kehidupan Sejahtera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebanyak 70 buah sekolah di seluruh negara telah turut serta dalam kempen \u201cNowyouSEEme 2.0\u201d hasil kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan Hibiscus Petroleum Berhad bersempena dengan sambutan Hari Talasemia Sedunia 2022.\nKempen yang telah berlangsung selama lima bulan ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan literasi murid sekolah dan ibu bapa tentang penyakit talasemia. Talasemia adalah satu daripada penyakit genetik darah yang boleh diwarisi melalui gen talasemia daripada ibu bapa.\nKKM menganggarkan setiap seorang daripada 20 orang rakyat di negara ini adalah pembawa gen talasemia dan jika kedua-dua ibu bapa adalah pembawa gen talasemia, maka berkemungkinan setiap kehamilan melahirkan bayi yang berpenyakit talasemia adalah tinggi. Pesakit yang menghidap talasemia tidak berupaya untuk menghasilkan sel darah merah yang berkualiti dan kuantiti yang mencukupi. Oleh itu, mereka perlu mendapatkan rawatan transfusi darah sebanyak satu atau dua kali sebulan sepanjang hidup.\nDemikian perkara penting yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Seri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan medianya hari ini.\nTambah beliau, kempen ini memberikan peluang yang lebih luas kepada murid dan warga sekolah menengah untuk mengenali dan memahami penyakit talasemia melalui aktiviti yang dijalankan menerusi portal secara dalam talian dan bersemuka.\nKKM menyeru agar rakyat Malaysia turut serta dalam mempertingkatkan kesedaran untuk membendung penyakit talasemia dan menjalankan ujian saringan genetik bagi mengenal pasti pembawa gen talasemia melalui penganjuran kempen kesedaran tentang penyakit ini.\nPada masa yang sama, pencegahan penyakit talasemia adalah penting kerana penyakit ini boleh menyebabkan komplikasi kematian disebabkan oleh kesan anemia yang serius, kegagalan organ seperti jantung dan jangkitan kuman.\nPihak KKM juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak KPM dan Hibiscus Petroleum Berhad yang bersama-sama menjayakan kempen ini. Kerjasama padu seperti ini diharapkan dapat diteruskan dalam usaha menyampaikan maklumat dan meningkatkan literasi masyarakat, khususnya murid sekolah tentang penyakit talasemia dan kepentingan untuk mengetahui status talasemia masing-masing." "Indahnya Lirik kerana Bahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKUALA LUMPUR \u2013 Keindahan lirik lagu dapat mengangkat martabat bahasa Melayu dalam industri muzik. Pemilihan kata-kata yang menarik dan puitis amat penting untuk mencipta lirik lagu selain melodi yang sedap didengar. Begitu juga dengan keindahan bahasa yang menggunakan bahasa yang santun dan baik dari segi makna dan betul istilahnya dapat memberikan nilai\u00a0estetika yang meninggalkan kesan mendalam di hati para pendengar lagu dari zaman lampau hingga kini.\nMenurut Datuk Habsah Hassan, iaitu penulis lirik tanah air terkenal, lirik yang baik terhasil apabila dapat mengenal cerita dalam lagu itu terlebih dahulu. Kemudian, diikuti dengan mencari kata-kata yang indah yang menggunakan bahasa yang baik dan betul.\nKarya seni juga harus datang dari hati dan lirik yang indah dipilih berdasarkan mutu dan estetika bahasa yang indah. Lirik lagu pada hari ini juga bagus liriknya, namun perlu menggunakan bahasa dan bait-bait lirik yang betul dari segi istilah bahasa Melayu.\nTambah Fauzi Marzuki pula, iaitu seorang penggubah dan pencipta lagu terkenal, ketika menggubah dan mencipta lagu, perkara utama yang dititikberatkan ialah menjaga kualiti lagu dari segi melodi dan lirik tanpa merosakkan keindahan bahasanya.\nMenurut penyanyi tanah air yang terkenal dengan lagu \u201cJanji Manismu\u201d, iaitu Dato\u2019 Aishah, setiap bait lirik mempunyai maksud yang tersendiri dan amat terkesan di hati seseorang sekiranya dihayati dengan sepenuh jiwa dan perasaan. Beliau turut menjelaskan bahawa lirik lagu yang baik dan betul dapat mengangkat bahasa Melayu yang bukan sahaja dalam kalangan pendengar tempatan, malah pendengar di luar negara yang seterusnya dapat memupuk minat mereka untuk mengenali bahasa Melayu dengan lebih dekat.\nBagi penyanyi generasi baharu, iaitu Aina Abdul, keindahan lirik lagu dalam lagu-lagu lama lebih terkesan di hatinya. Hal ini disebabkan oleh kekuatan bahasa Melayu yang digunakan dalam lirik lagu yang sangat indah dengan susunan yang baik dan sempurna.\nPendapat yang sama turut diakui oleh Na\u2019im Daniel, seorang penyanyi popular dan penulis lirik yang semakin meningkat namanya. Baginya, lirik lagu yang dihasilkan adalah mengikut peredaran zaman, namun pengekalan bahasa yang baik dan santun perlu dikekalkan. Katanya lagi, melodi lagu-lagu lama begitu tulus dengan seni kata yang sangat indah dan menarik sehingga menjadi begitu terkesan di hatinya.\nTambah penyanyi Eric Fuzi pula, estetika bahasa dalam lirik lagu yang menggunakan bahasa yang puitis dan santun boleh meninggalkan kesan yang mendalam kepada pendengar.\nDemikianlah antara penerangan menarik daripada para panel undangan dalam Rancangan Lidah Rakyat: Bicara Seni Kata Lagu Tiga Zaman yang juga bersiaran secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 10.00 pagi tadi yang bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP. Program ini merupakan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja. Yang turut hadir dalam program ini ialah Adlin Aman Ramlie sebagai moderator." "Masyarakat Disarankan Berganding Bahu Tangani Stigma dan Diskriminasi AIDS\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSimpang Empat \u2013 Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan simbolik Sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Putra, hari ini.\nDalam majlis berkenaan, baginda bertitah bahawa usaha untuk mengakhiri AIDS bukanlah tugas yang mudah. Semua pihak berkepentingan, sama ada kerajaan mahupun badan bukan kerajaan perlu terus berganding bahu menangani isu stigma dan diskriminasi terhadap kumpulan individu yang hidup dengan virus imunodefisiensi manusia (HIV).\n\u201cKita harus membantu dan menyokong mereka untuk hidup bersama-sama masyarakat tanpa ada rasa terpinggir. Di samping itu, penggunaan teknologi terkini haruslah dipertingkatkan bagi membolehkan akses kepada rawatan dan perkhidmatan HIV menjadi lebih mudah dan pantas,\u201c titah baginda lagi.\nMenurut DYTM Raja Muda Perlis, kunci utama untuk mencapai kejayaan dalam usaha ini adalah untuk memastikan tiada golongan berisiko seperti kanak-kanak, ibu mengandung, pekerja seks, penagih dadah dan penghuni penjara dipinggirkan daripada mendapat akses kepada perkhidmatan asas HIV yang merangkumi aspek pencegahan, rawatan dan pemulihan.\nHari AIDS Sedunia disambut pada 1 Disember setiap tahun. Pada tahun ini, tema yang dipilih ialah \u201cEqualize: Kesaksamaan untuk kesihatan bagi mengakhiri AIDS\u201d.\nPertubuhan Kesihatan Dunia juga menyeru semua pemimpin pada pelbagai peringkat dan masyarakat global untuk terus konsisten menyuarakan isu ketidaksamarataan yang akan terus menjadi penghalang kepada usaha WHO untuk mengakhiri penyakit AIDS menjelang tahun 2030.\nBersempena dengan program tersebut, DYTM Raja Muda Perlis berkenan menyerahkan sumbangan zakat MAIPs berjumlah RM21 000 kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al Makmur, Kampung Bongor Kudung. Sumbangan tersebut akan diagihkan oleh amil masjid tersebut, Mohd Fitri Mohd Rodzi.\nHadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor." "Pengurusan Ubat-ubatan semasa Musim Banjir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBanjir ialah bencana alam yang sering berlaku di Malaysia dan memberikan impak kepada ancaman keselamatan serta kesihatan orang awam. Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada berlakunya bencana ini, terutamanya kesan monsun timur laut yang membawa hujan yang berterusan.\nBerdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran, terdapat lebih kurang 5496 kawasan mudah banjir yang meliputi keluasan kira-kira 29 800 kilometer persegi. Hal ini meletakkan berpuluh-puluh ribu keluarga terdedah kepada bahaya banjir. Oleh sebab itu, penting bagi orang awam untuk mengambil tahu tentang pengurusan ubat-ubatan semasa musim banjir.\nSebelum Banjir\nPesakit yang menetap di kawasan berisiko dilanda banjir perlu diberikan pendedahan secukupnya tentang cara menguruskan ubat-ubatan sebelum, semasa dan selepas banjir. Pengumuman dan ramalan cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia harus diberikan perhatian supaya pesakit dapat bersedia menghadapi ancaman banjir.\nSecara umumnya, pengambilan ubat-ubatan perlu diteruskan mengikut dos dan kekerapan yang diarahkan oleh doktor, terutamanya bagi pesakit kronik seperti diabetes dan hipertensi. Rawatan yang terputus boleh menyebabkan penyakit kronik tidak dapat dikawal dengan baik, memudaratkan pesakit dan menyebabkan komplikasi yang lebih serius.\nPesakit disarankan mendapatkan bekalan ubat yang mencukupi sepanjang tempoh musim banjir. Maklumkan kepada pegawai farmasi sekiranya kawasan tempat tinggal anda berisiko dilanda banjir.\nUbat-ubatan dan rekod kesihatan perlulah disimpan di dalam bekas yang selamat, kalis air dan mudah dibawa. Elakkan daripada mengeluarkan ubat tersebut daripada bungkusan asalnya. Pesakit juga boleh menyediakan beg sejuk dan pek ais sekiranya menggunakan ubat-ubatan yang perlu disimpan di dalam peti sejuk seperti insulin.\nOrang awam juga perlu memeriksa stok bekalan ubat secara berkala untuk memastikan ubat tidak melepasi tarikh luput dan baki ubat adalah mencukupi. Persiapan ini dapat mengelakkan ubat-ubatan dan rekod kesihatan daripada hilang atau musnah apabila air mula naik pada paras bahaya.\n\u00a0\nSemasa Banjir\nJika diarahkan oleh pihak berkuasa untuk berpindah ke pusat pemindahan banjir, pesakit perlu membawa bersama-sama ubat-ubatan, preskripsi ubat dan rekod kesihatan bagi memastikan rawatan dapat diteruskan mengikut arahan doktor dan mengelakkan kerosakan ubat sekiranya ditinggalkan di kediaman pesakit.\nSepanjang berada di pusat pemindahan banjir, pesakit diminta untuk mematuhi jadual pengambilan ubat mengikut dos dan masa yang telah ditetapkan. Amalkan konsep 5B semasa mengambil ubat, iaitu pengguna yang betul, ubat yang betul, dos yang betul, cara yang betul dan masa yang betul. Pesakit juga diingatkan untuk tidak berkongsi ubat-ubatan dengan orang lain walaupun mempunyai gejala penyakit yang sama.\nBagi memastikan kualiti ubat terjamin, pastikan ubat disimpan jauh daripada sumber haba, cahaya dan kelembapan. Situasi di pusat pemindahan banjir mungkin padat dengan penempatan mangsa banjir yang lain. Oleh itu, simpan ubat-ubatan dalam bekas yang selamat agar tidak hilang dan jauhkan daripada capaian kanak-kanak.\nKekurangan kemudahan di pusat pemindahan banjir boleh menyukarkan pesakit untuk menyimpan ubat-ubatan yang perlu disimpan di dalam peti sejuk seperti insulin. Pesakit boleh menyimpan insulin pada suhu bilik dan catatkan tarikh ubat dikeluarkan daripada peti sejuk kerana insulin tersebut boleh digunakan dalam tempoh empat minggu.\nBagi pesakit yang perlu membancuh ubat sendiri seperti sesetengah jenis antibiotik, gunakan air minuman yang bersih. Maklumkan kepada petugas kesihatan yang berkhidmat di pusat pemindahan tersebut sekiranya kehabisan ubat atau menghadapi sebarang masalah berkaitan ubat-ubatan. Sekiranya pesakit perlu mendapatkan rawatan bagi penyakit bawaan banjir, maklumkan jenis ubat yang diambil kepada petugas kesihatan bagi mengelakkan sebarang interaksi antara ubat-ubatan tersebut.\nSelepas Banjir\nSelepas air banjir mulai surut, mangsa banjir akan dibenarkan untuk kembali ke rumah masing-masing. Pesakit perlu memeriksa sekiranya terdapat sebarang kerosakan pada ubat-ubatan atau rekod kesihatan.\nUbat-ubatan yang terkena air banjir tidak boleh digunakan semula kerana berisiko dicemari kuman. Pesakit perlu mendapatkan ubat gantian di fasiliti kesihatan secepat mungkin.\nMenguruskan ubat-ubatan adalah penting pada setiap masa, lebih-lebih lagi apabila telah mendapat amaran awal daripada pihak berkuasa tentang ramalan bencana yang mungkin berlaku. Pastikan kesihatan diri sentiasa dijaga, ubat-ubatan mencukupi dan tidak terputus bekalan.\nSekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, anda boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722. Talian dibuka pada hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5 petang, kecuali pada cuti umum.\n\u00a0\nAhmad Najib Ahmad Afandi, Pegawai Farmasi di Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor." "Penggunaan Sistem Maklumat Geografi dalam Pengurusan Bencana Banjir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKemajuan teknologi maklumat dan pembangunan rangka kerja pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC) pada tahun 1996 dan pelancaran Malaysia Digital (MD) pada Julai 2022 bagi menambah baik inisiatif MSC adalah langkah proaktif dalam memacu arus pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negara.\nKemajuan teknologi maklumat juga memainkan peranan utama dalam menghasilkan sistem pengendalian maklumat yang terkini, lengkap dan pantas. Hal ini turut memberikan kesan kepada perkembangan sistem maklumat geografi (GIS) di Malaysia.\nSistem Maklumat Geografi\nPada hari ini, pelbagai tafsiran diberikan kepada GIS mengikut latar belakang pengguna dan kefahaman mengenainya. Kepelbagaian ini terbina hasil persepsi individu mengikut kegunaan atau manfaat yang diperolehi daripada GIS.\nMisalnya, penghantar barang menggambarkan GIS sebagai kemudahan yang berupaya mencari arah tuju lokasi dengan lebih mudah. Pengembara pula mentakrifkan GIS sebagai tempat menyimpan lokasi tumpuan dan kawasan menarik yang perlu dikunjungi tanpa bersusah payah membuat rujukan peta dalam salinan keras.\nKebanyakan orang juga keliru antara alat global navigation satellite system (GNSS) dengan GIS. Istilahnya seolah-olah serupa tetapi sebenarnya kedua-duanya berbeza. Pada kebiasaannya, kedua-dua teknologi ini diintegrasikan supaya menghasilkan paparan peta berdasarkan lokasi semasa yang berupaya dicerap berbantukan satelit.\nSecara konsepnya, GIS ialah teknologi berasaskan komputer yang berupaya memproses data geospatial (reruang) dan atribut (teks) bagi menghasilkan maklumat pemetaan secara digital yang kemudiannya diproses mengikut kehendak pengguna.\nGIS memberikan maklumat peta (lokasi) dan maklumat objek yang terdapat di suatu kawasan. Contoh yang paling mudah ialah penggunaan aplikasi carian di Google Maps atau Waze oleh pelbagai lapisan masyarakat untuk pencarian alamat mahupun penunjuk arah ke lokasi yang dikehendaki.\nSementara itu, GNSS ialah alat yang berupaya mengesan lokasi koordinat di muka bumi dengan bantuan satelit. GNSS yang diintegrasikan bersama-sama GIS membolehkan peta digital dilihat pada kedudukan koordinat semasa. Hal ini menjadikan pergerakan pengguna akan dikesan oleh GNSS dan seterusnya dipaparkan di atas peta pada masa nyata. Dengan penambahan algoritma bagi menjalankan fungsi tertentu, maka terhasilah inovasi seperti aplikasi penunjuk arah dalam Google Maps dan Waze yang digunakan pada masa ini.\nGIS beroperasi berdasarkan lima komponen, iaitu perkakasan, perisian, data, orang dan kaedah. Setiap komponen adalah penting dan ketiadaan mana-mana komponen tersebut berisiko mengganggu pelaksanaan GIS.\n\u00a0\nBencana Banjir \nDalam situasi banjir, pasukan penyelamat berisiko menghadapi cabaran yang besar dalam operasi menyelamatkan mangsa banjir. Mangsa mungkin terperangkap pada paras air yang berbahaya dan besar kemungkinan telah terputus bekalan makanan serta mengharapkan bantuan sesegera mungkin.\nSituasi genting seperti ini mendesak pasukan penyelamat untuk bertindak pantas, namun mereka mungkin menghadapi kekangan kerana sukar mendapatkan maklumat persekitaran dengan lengkap dan tepat. Lokasi sebenar mangsa juga sukar dikenal pasti kerana kebanyakan kawasan telah ditenggelami air.\nSelain itu, terdapat kawasan yang sukar dilalui akibat arus deras dan tidak dapat dikenal pasti akan risikonya. Semua masalah ini akhirnya menyebabkan proses pergerakan ke lokasi penyelamatan lewat dilakukan.\nKegagalan mendapatkan gambaran lengkap seperti alur sungai, kecerunan tanah dan jenis guna tanah di kawasan persekitaran bencana juga menyebabkan kesukaran kepada pasukan penyelamat untuk mengharungi banjir ekoran terdapatnya risiko aliran arus deras atau berpusar berdasarkan muka bumi di sesuatu kawasan.\nMisalnya, kawasan cerun cenderung menyebabkan aliran air bergerak deras menuruni lereng. Semakin tinggi darjah kecerunan, semakin deras aliran air melaluinya. Begitu juga alur sungai yang boleh menyebabkan arus deras atau berpusar di kawasan tertentu. Keadaan ini mewujudkan risiko kepada pasukan penyelamat semasa mengharungi banjir, terutamanya ketika adanya mangsa bersama-sama dalam perjalanan menaiki bot ke pusat pemindahan sementara.\nMemanfaatkan GIS semasa Bencana Banjir\nKebanyakan produk inovasi yang terhasil daripada penyelidikan memberikan fokus kepada pemetaan kawasan banjir dan ramalan kejadian banjir di satu-satu kawasan. Walau bagaimanapun, idea yang diketengahkan dalam rencana ini pula menjurus kepada manfaat penggunaan GIS untuk bencana banjir yang telah pun berlaku serta kebolehannya digunakan oleh pihak pemegang taruh, sama ada sebelum, semasa mahupun selepas berlakunya bencana banjir.\nPenulis yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Cawangan Teknologi Maklumat, Akademi Latihan Pertahanan Awam telah menjalankan beberapa kajian sejak tahun 2018 agar pelaksanaan GIS dapat direalisasikan ketika operasi menyelamat dan bantuan mangsa banjir.\nIdea penggunaan GIS telah dirangka agar boleh dimanfaatkan menggunakan fungsi seperti yang berikut:\nKesemua fungsi yang dinyatakan membolehkan banyak manfaat diperoleh oleh pihak yang terlibat seperti petugas pusat kawalan operasi, pasukan penyelamat di lapangan dalam pengurusan bencana dan masyarakat yang terjejas akibat banjir.\nSebagai contohnya, mangsa banjir boleh menyatakan lokasi koordinat kepada pusat kawalan operasi yang akan mengatur pergerakan pasukan penyelamat ke lokasi mangsa. Lokasi tersebut akan mudah dijejaki berdasarkan rujukan koordinat diberikan. Risiko persekitaran juga lebih mudah dianalisis oleh pasukan penyelamat bagi mengurangkan impak buruk yang mungkin terjadi.\n\u00a0\nSelari dengan arus kemodenan ICT pada peringkat global, kemudahan GIS selama ini telah dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan masyarakat terutamnya dalam membantu urusan perniagaan. Perkhidmatan seperti e-panggilan, perkhidmatan penghantaran makanan dan penjejakan lokasi kenderaan adalah antara produk yang wujud melalui penyelidikan inovasi berasaskan GIS.\nSehubungan dengan itu, adalah amat bermanfaat seandainya idea teknologi ini turut diketengahkan oleh pihak pengurusan bencana dan komuniti sebagai persediaan sekiranya bencana banjir berlaku, terutamanya yang melibatkan kawasan yang luas serta jumlah mangsa yang ramai.\nBanyak kelebihan yang mampu ditawarkan GIS, terutamanya ketika menguruskan operasi bencana banjir. Perkara ini juga selari dengan Kerangka Kerja Sendai untuk Pengurangan Risiko Bencana (2015-2030) dan Masyarakat 5.0 yang memberikan penekanan integrasi antara teknologi pintar dengan manusia ke arah konsep peradaban masa hadapan.\nTanggapan bahawa GIS ialah teknologi yang sukar dan dikhususkan kepada golongan profesional adalah kurang tepat. Realitinya, teknologi ini mampu dioperasikan secara asas oleh pelbagai lapisan masyarakat.\nPasukan penyelamat banjir juga usah gusar akan penggunaan teknologi ini kerana pembangun teknologi sentiasa berusaha memudahkan pengguna untuk menggunakannya seiring dengan pertumbuhan teknologi yang sentiasa berubah. Potensi masa hadapan ICT dan GIS juga bakal berkembang pesat selari dengan Revolusi Perindustrian 4.0 yang berupaya mengubah gaya hidup masyarakat ketika itu.\n\u00a0\nTs. Mohd Ridzuan Anuar ialah Penolong Pengarah di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Putrajaya.\nKol. (PA) Ts. Dr. Mohamad Fazli Sardi ialah Komandan di Akademi Latihan Pertahanan Awam, Bangi, Selangor." "Dua Produk Vaksin Diluluskan dengan Pendaftaran Bersyarat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-379 telah bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat kepada dua produk vaksin COVID-19 untuk kegunaan semasa bencana, iaitu Comirnaty Original/Omicron BA.4-5 (15mcg/15mcg) Solution for Injection dan Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector) Solution for Injection.\nComirnaty Original/Omicron BA.4-5 (15mcg/15mcg) Solution for Injection ialah vaksin COVID-19 bivalen yang mengandungi dua komponen, iaitu komponen daripada strain virus asal dan komponen varian Omicron BA.4-5.\nVaksin ini diberikan kepada individu yang berumur 12 tahun dan ke atas yang telah menerima vaksinasi primer dengan vaksin COVID-19 mRNA atau vaksin COVID-19 adenoviral vektor lain yang diluluskan sekurang-kurangnya selepas tiga bulan daripada penerimaan dos primer yang telah lengkap atau dos penggalak yang terakhir. Vaksin ini adalah daripada pemegang pendaftaran produk Pfizer (M) Sdn. Bhd. dan pengilang BioNTech Manufacturing GmbH, Jerman.\nSementara itu, pemegang pendaftaran dan pengilang bagi produk Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector) Solution for Injection pula ialah Solution Biologics Sdn. Bhd. Sebelum ini, PBKD telah meluluskan pendaftaran bersyarat bagi pengilang CanSino Biologics Inc, China pada 15 Jun 2021.\nMenurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Seri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan medianya, kelulusan bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara berdasarkan data terkini dari semasa ke semasa.\nTindakan ini dilaksanakan untuk memastikan perbandingan antara manfaat dengan risiko bagi produk tersebut kekal positif.\n\u201cKementerian Kesihatan Malaysia akan terus komited untuk mempertingkatkan akses rakyat kepada ubat-ubatan bagi merawat dan mencegah penularan COVID-19 di negara ini dengan memastikan produk vaksin ini dinilai berdasarkan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan,\u201d katanya lagi." "Wanita Sihat Mampu Memartabatkan Negara \u2013 Raja Puan Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013\u201cWanita Malaysia, khususnya di Perlis hendaklah terus bangkit untuk saling melengkapi kaum lelaki dengan berusaha memartabatkan negeri dan negara agar kekal teguh di mata dunia.\u201d\nDemikian titah Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) ketika merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, YBrs. Dr. Ismuni Bohari dan seluruh jawatankuasa penganjur di atas pelibatan dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan program Seminar Yayasan Tuanku Fauziah Siri 15, baru-baru ini.\nPertubuhan Kesihatan Sedunia mentakrifkan \u201csihat\u201d sebagai keadaan sempurna fizikal, mental, sosial dan tidak hanya ketika ketiadaan sakit. Sihat secara fizikal merujuk bebas daripada sebarang penyakit berjangkit atau penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi atau kanser, manakala sihat secara mental pula meliputi aspek pemikiran, emosi, tingkah laku serta mempunyai hubungan yang baik antara seseorang dengan orang lain.\nSementara itu, wanita sangat sinonim dengan keanggunan, bergaya, elok dan menarik kerana sangat mementingkan gaya dan keterampilan yang sempurna. Kecantikan yang merupakan impian bagi setiap wanita pula merangkumi kecantikan secara dalaman dan luaran.\nPada masa yang sama, Tuanku Raja Puan Muda juga berterima kasih kepada ahli panel yang telah berkongsikan ilmu, pengalaman dan pandangan dalam seminar yang bertemakan \u201cWanita Sihat, Anggun, Berkarisma\u201d anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dengan kerjasama YTF secara hibrid pada 30 November 2022 yang lalu.\nCabaran lain dalam dunia seorang wanita ialah kosmetik dan kecantikan. Mungkin ramai orang yang tidak mengetahui bahawa sesetengah produk kecantikan boleh mengganggu fungsi hormon semula jadi dan menjejaskan kesihatan dalaman dan luaran.\nMajlis perasmian pembukaan seminar tersebut telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Auditorium Dr. Syed Mahmood, Jabatan Kesihatan Negeri, Kangar." "Penyelidik Malaysia Menang Anugerah STI Peringkat ASEAN\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Saintis Kanan, Pusat Penyelidikan Kanser Malaysia, YBrs. Dr. Annie Chai Wai Yeeng telah memenangi kategori Next ASEAN Innovator dalam 4th ASEAN-ROK Award for Excellence in Science, Technology and Innovation 2022, baru-baru ini.\nThe 4th ASEAN-ROK Award for Excellence in Science, Technology and Innovation 2022 ini diadakan untuk menggalakkan pelibatan saintis dan jurutera muda dalam penyelidikan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta mengiktiraf pencapaian akademik dan profesional para saintis serta jurutera dalam kalangan warganegara Association of Southeast Asian Nations (ASEAN). Program ini dikelokan oleh Kerajaan Republik Korea (ROK) melalui Kementerian Sains dan ICT (MSIT) dengan sokongan Science and Technology Policy Institute (STEPI) dan ASEAN.\nBerdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, kemenangan YBrs. Dr. Annie Chai Wai Yeeng adalah hasil daripada penyelidikannya bagi mengenal pasti gabungan ubat sinergistik dalam model kanser Asia yang unik melalui pengaplikasian pembelajaran mesin (machine learning) untuk kaedah pengiraan dalam ramalan gabungan ubat sinergistik dengan menggunakan gabungan skrin penting CRISPR/Cas9, genomik dan data pemeriksaan ubat, terutamanya berkaitan dengan kanser kepala dan leher yang berasal dari Asia.\nSelain itu, beliau turut dianugerahkan hadiah wang tunai berjumlah USD12 000 dan diundang untuk menghadiri Program Latihan STI ASEAN-ROK selama seminggu bermula 27 November 2022 hingga 3 Disember 2022 di Seoul, Republik Korea serta berpeluang membentangkan hasil kerja beliau. Anugerah tersebut telah diserahkan secara rasminya oleh MSIT, ROK dan STEPI pada 1 Disember 2022 yang lalu.\nBeliau merupakan penyelidik kedua selepas YBrs. Dr. Nur Hafizah Abd Khalid dari Universiti Teknologi Malaysia yang memenangi kategori yang sama dalam 2nd ASEAN-ROK Award for Excellence in Science, Technology and Innovation 2020.\nPencapaian ini diharapkan dapat menjadi sumber inspirasi dan motivasi bagi menyemarakkan lagi minat dalam kalangan institusi penyelidikan dan penyelidik negara untuk berusaha ke arah penyelesaian yang inovatif dalam menghadapi cabaran semasa dan masa hadapan dengan memanfaatkan STI.\nMaklumat lanjut berkenaan dengan hadiah dan para pemenang boleh layari Facebook rasmi ASEAN." "Latihan Menyelamat Hadapi Saat Cemas\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSintok \u2013 Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Kursus Asas Pertolongan Cemas dan Latihan Automated External Defribillator (AED) untuk First Aider bagi menambah ilmu pengetahuan kepada kakitangannya berkaitan dengan pertolongan cemas disebabkan oleh peningkatan kes kemalangan yang sering berlaku pada masa ini.\nMenurut Pengarah Pejabat Pengurusan Risiko, UUM, YBrs. Profesor Dr. Nuarrual Hilal Md Dahlan, kursus ini merupakan kursus kemahiran asasi yang sangat berguna sebagai langkah kesiapsiagaan dalam menghadapi situasi kritikal dan kecemasan sama ada dalam kehidupan seharian ataupun sebarang bencana alam.\nTambah beliau, pertolongan cemas ialah rawatan pertama yang diberikan untuk menyelamatkan nyawa, di samping membantu mengurangkan kesakitan dan menstabilkan keadaan mangsa serta mengelakkan kecederaan menjadi lebih serius.\nProsedur pertolongan cemas sebagai respons rawatan pertama ini bukanlah sebagai pengganti kepada perkhidmatan kecemasan, tetapi sangat diperlukan sebagai langkah awal yang cepat sebelum rawatan lanjut dilakukan oleh ahli perubatan yang bertauliah.\nTambah beliau lagi, kemahiran pertolongan cemas perlu dipromosikan dan kemudahan akses juga dipertingkatkan agar masyarakat dapat mempelajarinya dan yakin untuk mempraktikkannya dalam situasi yang memerlukan. Hal ini dikatakan demikian kerana kemahiran ini boleh menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih berilmu dan berkemahiran.\nDalam ucapannya juga, beliau menyatakan bahawa Inisiatif UUM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia melahirkan Jurulatih Bertauliah Pertolongan Cemas ini tepat pada masanya dalam usaha melindungi kesihatan dan kesejahteraan awam.\nUsaha ini penting dalam mendukung kesiapsiagaan negara bagi menghadapi keadaan kecemasan seperti bencana banjir yang memerlukan sukarelawan yang berkemahiran dalam pertolongan cemas untuk memberikan bantuan bukan sahaja dari aspek kecederaan fizikal, malah membantu dalam memberikan sokongan psikososial kepada mangsa.\nPeserta kursus, Encik Mohd Zairi Zainol dari Jabatan Canselori berkata, program kemahiran ini adalah untuk memberikan pertolongan cemas sebagai rawatan pertama dengan serta-merta kepada individu yang memerlukan.\n\u201cSaya dapat mempelajari ilmu pertolongan cemas yang amat berharga yang sebelum ini tidak diketahui di samping dapat memahami situasi kecemasan sekiranya terdapat kemalangan yang berlaku di sekeliling termasuklah di tempat kerja,\u201d katanya lagi.\nDalam kursus ini, peserta dapat mempelajari teknik dan kaedah yang betul seperti balutan dan cara pertolongan yang tepat untuk pelbagai kecederaan sebelum dihantar ke hospital.\nEncik Azmi Ahmad dari Institut Pengurusan Kualiti yang merupakan peserta kursus ini juga menyatakan bahawa beliau banyak menimba ilmu sepanjang dua hari kursus ini diadakan. Misalnya, merawat seseorang ketika kecemasan seperti mengalami kemalangan jalan raya dan sesak nafas ketika berlakunya kebakaran dengan membuat resusitasi kardiopulmonari (CPR).\nCPR boleh menyelamatkan seseorang dengan membantu meneruskan bekalan oksigen ke otak hingga pesakit diberikan rawatan yang lebih spesifik ataupun hingga pesakit sudah tidak dapat diselamatkan lagi.\n\u201cDaripada sekadar menjadi pemerhati ketika kemalangan, sekurang-kurangnya dengan ilmu yang diperoleh ini, kami dapat membantu orang awam dengan teknik yang dipelajari sekali gus menjadi warga universiti yang bertanggungjawab, berdisiplin, berintegriti dan prihatin kepada masyarakat,\u201d ujarnya lagi." "Pengimportan E-sisa ke Malaysia Dikawal Ketat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 \u201dKementerian saya komited dalam memastikan Malaysia tidak dijadikan tempat transit atau pelupusan e-sisa daripada negara maju. Hal ini adalah selaras dengan Konvensyen Basel mengenai Kawalan Pergerakan Buangan Berbahaya dan Pelupusannya. Melalui konvensyen ini, semua pergerakan rentas sempadan buangan terjadual seperti e-sisa perlu mempunyai kelulusan terlebih dahulu sebelum sebarang aktiviti transit, import dan eksport dapat dijalankan.\u201d\nDemikian kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad yang melawat dan membuat pemeriksaan di Port Klang dalam satu operasi membanteras dagangan sisa elektronik (e-sisa) yang dilakukan secara haram bersama-sama timbalannya, YB Dato\u2019 Sri Huang Tiong Sii dan pegawai kanan dari Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).\nBerdasarkan statistik yang direkodkan dari Januari 2022 hingga November 2022, sebanyak 59 buah kontena telah ditahan oleh JAS Negeri Selangor dengan kerjasama pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 31 buah kontena yang membawa barangan mengandungi buangan terjadual telah diperiksa oleh pegawai penguat kuasa JAS.\nPada 8 Disember 2022 yang lalu, sebanyak tiga buah kontena telah ditahan dan diperiksa di Pelabuhan Barat, Klang. Hasil pemeriksaan mendapati bahawa kontena tersebut mengandungi bahan buangan yang diimport dari Amerika Syarikat dan Sepanyol, iaitu perkakasan komputer terpakai berserta wayar yang dikategorikan sebagai buangan elektrik dan elektronik (SW 110) atau e-sisa. Pemeriksaan turut mendapati bahawa pengimport telah mengikrar bahan dagangan sebagai skrap aluminium bagi mengaburi mata pihak berkuasa.\nOleh yang demikian, bagi mematuhi kehendak di bawah prosedur Konvensyen Basel, notis arahan akan dikeluarkan kepada syarikat pengimport berkenaan untuk memulangkan kontena tersebut ke negara asal. Konvensyen Basel telah menetapkan supaya e-sisa yang merentasi sempadan hendaklah melalui prosedur Prior Informed Consent (PIC), yakni kebenaran negara pengimport perlu diperoleh sebelum dihantar ke negara yang terlibat. Tindakan ini adalah satu daripada cara untuk mengawal pergerakan e-sisa pada peringkat global.\nTindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pengimport yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan termasuklah menghantar balik kontena e-sisa import tersebut ke negara asal. JAS akan terus memperkasakan pemantauan dan penguatkuasaan bagi pengimportan e-sisa yang digunakan oleh industri kitar semula.\nDi bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974, sebarang penempatan buangan terjadual sama ada di darat atau dalam perairan Malaysia, transit atau membenarkan ditransit e-sisa tanpa kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar adalah menjadi satu kesalahan di bawah AKAS 1974 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak melebihi RM500 000.\nYB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad merakamkan penghargaan atas kerjasama yang diberikan oleh semua agensi yang terlibat dalam membantu operasi tersebut. Beliau menyatakan bahawa kerajaan amat menghargai sebarang maklumat risikan awal yang disalurkan oleh mana-mana pihak dalam mendepani cabaran siasatan dan penguatkuasaan pergerakan merentas sempadan e-sisa ke negara ini.\n\u201cSebarang cubaan oleh mana-mana agen atau syarikat perkapalan yang mengimport sebarang e-sisa ke Malaysia akan berdepan dengan tindakan tegas jika mereka gagal mematuhi undang-undang dan prosedur pengimportan yang telah ditetapkan oleh Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 43, AKAS 1974,\u201d tegasnya lagi." "Pembangunan Infrastruktur Pengecas EV Menyokong Usaha Penyahkarbon Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan memberikan tumpuan terhadap penerokaan bidang atau sumber ekonomi baharu seperti bidang tenaga boleh baharu atau pembangunan rantaian ekonomi hijau termasuklah pembangunan bidang kenderaan elektrik (EV).\nMenterinya, YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, \u201cUsaha akan dilakukan untuk mengurangkan jejak karbon negara melalui langkah peralihan tenaga, yakni pelaksanaan inisiatif 3D, iaitu digitalisation, decentralisation dan decarbonisation akan diberikan tumpuan utama.\n\u201cUsaha peralihan tenaga adalah penting kerana sektor tenaga menyumbang kira-kira 80 peratus daripada jumlah pembebasan gas kaca di negara kita,\u201d katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Stesen Pengecas EV Bangi Golf Resort dan Penyerahan Lesen Pengagihan Awam Sistem Pengecas EV oleh Suruhanjaya Tenaga kepada Syarikat EV Connection Sdn. Bhd..\nMenurut beliau, usaha peralihan tenaga yang akan dilaksanakan ini memerlukan sokongan padu daripada pelbagai pihak, terutamanya sektor swasta. Oleh itu, usaha sama antara Syarikat Gentari Sdn. Bhd. dengan Syarikat EV Connection Sdn. Bhd. dalam membangunkan infrastruktur pengecas EV ini perlu diperluaskan lagi agar dapat mempercepatkan peralihan kepada penggunaan EV di Malaysia.\nSuruhanjaya Tenaga sebagaimana peruntukan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) akan melakukan tindakan kawal selia berasaskan peruntukan perundangan dalam usaha memastikan infrastruktur pembekalan elektrik termasuklah pengecas EV yang dibangunkan adalah selamat dan mematuhi piawaian keselamatan tertinggi.\nTambahnya lagi, Suruhanjaya Tenaga juga telah menerbitkan Guide on Electric Vehicle Charging System (EVCS) sebagai dokumen rujukan kepada semua pihak yang berkepentingan mengenai keperluan teknikal dan syarat regulatori bagi pembangunan infrastruktur EV di negara ini.\nPihak Gentari Sdn. Bhd. sebagai antara pemain utama dalam pembangunan infrastruktur pengecasan EV diharapkan boleh berganding usaha dengan pihak kementerian untuk bersama-sama menerokai aspek integrasi \u201cvehicle to grid\u201d bagi menyokong usaha peralihan tenaga.\nPada masa yang sama, beliau turut menyeru semua pihak yang terlibat dalam membangunkan infrastruktur pengecas EV untuk mematuhi peraturan yang dikeluarkan bagi menjamin keselamatan awam termasuklah mendapatkan lesen pengagihan awam daripada Suruhanjaya Tenaga." "Di Sebalik Fenomena Kejadian Tanah Runtuh\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTanah ialah sumber alam yang tidak boleh diperbaharui. Penggunaan tanah yang tidak terkawal menyebabkan sumber tanah semakin menurun saban tahun. Tanah digunakan sebagai sumber dalam pelbagai bidang seperti perumahan, pembalakan, pertanian, penternakan dan perladangan.\nTanah turut berperanan sebagai tempat tadahan air dan sumber mineral. Hal ini menjadikan tanah adalah penting terhadap kesejahteraan manusia dan alam sekitar. Tanah yang diuruskan secara lestari dapat mengurangkan berlakunya kejadian tanah runtuh. Namun demikian, harus juga difahami bahawa keadaan iklim Khatulistiwa yang menyumbang kepada taburan hujan tahunan yang tinggi dan faktor perubahan iklim yang semakin meruncing pada masa ini turut menjadi punca kepada berlakunya kejadian tanah runtuh.\nKejadian tanah runtuh ialah fenomena bencana alam yang kedua kerap berlaku selepas banjir di negara ini, tambah-tambah lagi semasa musim monsun timur laut. Berdasarkan laporan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), sebanyak 121 insiden kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di seluruh negara sepanjang tempoh Monsun Timur Laut pada tahun 2021.\nTanah runtuh ditakrifkan sebagai pergerakan jisim batuan, puing atau tanah menuruni cerun di bawah pengaruh graviti. Kejadian ini melibatkan gelongsoran tanah atau pergerakan tanah dari satu kedudukan yang tidak stabil akibat ketidakstabilan jisim tanah. Proses ini berlaku secara semula jadi akibat tekanan yang menyebabkan bahan tanah perlu bergerak untuk mengalami penstrukturan semula supaya menjadi stabil. Dalam bahasa yang lebih mudah, kejadian tanah runtuh berpunca daripada kegagalan bahan tanah yang tidak dapat bertahan dari satu kedudukan akibat beberapa faktor.\nAntara faktor yang menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh termasuklah jumlah hujan yang banyak dengan intensiti hujan yang tinggi dan turun secara berterusan. Faktor ini juga adalah sangat penting sehingga memungkinkan berlakunya kejadian tanah runtuh berskala besar.\nApabila hujan lebat berterusan, setiap cerun berpotensi untuk berlakunya pergerakan tanah dan kejadian tanah runtuh, terutamanya di kawasan yang \u201cdiusik\u201d dengan pembangunan. Ruang tanah akan mula diisi dengan air hujan lalu menyebabkan struktur tanih, iaitu lapisan tanah yang subur di bawah lapisan tanah yang di atas sekali menjadi lemah kerana tertepu dengan kelembapan, sekali gus menyebabkan cerun tanah tidak stabil.\nRuang tanah yang terisi dengan air ini mampu menerobos ke dalam tanah hingga 100 meter. Keadaan diburukkan lagi dengan cuaca redup berpanjangan yang menyebabkan proses sejatan untuk mengurangkan kandungan air hujan pada tanah tidak dapat berfungsi. Hal ini mendorong berlakunya kejadian runtuhan tanah dengan membawa sejumlah besar tanah daripada bahagian cerun.\nRuntuhan tanah mudah berlaku pada cerun yang curam dan bahan cerun yang mempunyai ikatan tanah yang lemah. Oleh sebab itu, kejadian tanah runtuh adalah sebahagian daripada petunjuk kepada kegagalan sesebuah cerun.\nTerdapat beberapa faktor kegagalan cerun yang dapat dikaitkan dengan persekitaran Malaysia. Faktor tersebut ialah kejadian hujan lebat bagi suatu tempoh yang lama, perubahan sifat bahan bumi melalui proses geomorfologi, ketakselanjaran satah batuan, hakisan tanih oleh tindakan air hujan dan air larian, kelemahan aspek kejuruteraan bahan cerun berkait dengan tahap erodibiliti tanih yang rendah, berlakunya pengumpulan air bawah tanah secara berlebihan bagi suatu tempoh masa yang panjang, serta kurang langkah mitigasi terhadap cerun dan permukaan cerun sehingga menggalakkan kejadian hakisan tanih.\nSehingga Disember 2021, pemantauan terhadap 220 cerun kritikal telah dilakukan di seluruh negara oleh JMG yang akhirnya mengenal pasti sebanyak 122 lokasi cerun tanah yang berpotensi berlakunya kejadian tanah runtuh.\nSetiap cerun yang berisiko berlakunya tanah runtuh mempunyai tanda tertentu seperti penyusutan tanah atau tanda rekahan apabila terdapatnya gerakan tanah. Antara indikator lain yang boleh diberikan perhatian termasuklah pengeluaran air laju pada permukaan cerun dan wujudnya tanda hakisan pada cerun yang menandakan terdapat laluan air.\nOrang ramai boleh menggunakan laman web Google Earth bagi melihat perubahan topografi yang memaparkan imej terdapatnya permukaan terbuka kawasan cerun yang berkemungkinan berlakunya kejadian tanah runtuh. Mereka juga boleh menyalurkan maklumat ini kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut dan dinasihatkan supaya menjauhkan diri serta mengelak berada sekurang-kurangnya lima hingga 10 meter daripada kawasan berisiko tersebut\nPemantauan dan penyelenggaraan pada cerun yang gagal atau berpotensi gagal berpotensi meminimumkan kesan tanah runtuh. Langkah pemantauan dan penyelenggaraan ke atas cerun yang bermasalah harus dilakukan secara berkala, terutamanya bagi cerun yang berhampiran dengan kawasan perumahan. Hal ini adalah penting untuk melihat sama ada wujudnya sebarang ragam kegagalan yang bertindak balas pada perubahan iklim, atmosfera, cuaca panas dan sejuk.\nPetunjuk awal terhadap potensi pergerakan tanah yang menjurus kepada tanah runtuh juga harus dikenal pasti. Bagi lokasi cerun yang berpotensi runtuh, kajian perlu dilakukan untuk menentukan tahap boleh runtuh tanah bagi membendung bencana ini yang banyak merosakkan infrastruktur, meragut nyawa dan merosotkan ekonomi di sesuatu kawasan.\nTahap boleh runtuh tanah melibatkan ciri fizikal tanih seperti keporosan, kadar infiltrasi dan struktur tanih yang mampu mempengaruhi kestabilan cerun. Kelemahan atau kekurangan satu daripadanya berpotensi menyebabkan kejadian tanah runtuh. Kajian lebih terperinci yang melibatkan aspek erosiviti, impak topografi serta litupan bumi juga perlu diberikan perhatian bagi mengkaji potensi berlakunya sesuatu kejadian tanah runtuh.\nSelain itu, dokumentasi ciri fizikal tanih di kawasan runtuhan tanah yang disusuli dengan analisis saintifik perlu dilakukan untuk menentukan tahap boleh runtuh tanah di cerun yang berpotensi. Dokumentasi ini juga boleh digunakan sebagai panduan oleh pihak yang berkepentingan dalam pengurusan cerun di Malaysia.\nPada masa yang sama, kumpulan pakar dalam bidang berkaitan juga perlu dibentuk agar siasatan yang optimum tentang kejadian tanah runtuh dapat dilaksanakan. Dana khas juga perlu dicadangkan untuk kerja penyiasatan kejadian tanah runtuh yang berlaku bagi mengelakkan kejadian tersebut berulang atau berlaku dengan lebih tragis di tempat lain. Hal ini adalah lebih baik daripada menanggung sebarang impak negatif kejadian tanah runtuh yang mampu meruntuhkan aktiviti ekonomi di kawasan yang terkesan.\nDi Malaysia, kejadian tanah runtuh sering dikaitkan dengan faktor pembangunan tanah yang pesat. Pembangunan tanah di negara ini lazimnya melibatkan pertukaran kawasan litupan hutan kepada pembangunan pertanian, pembandaran, perindustrian, infrastruktur dan perumahan.\nDalam konteks ini, pembangunan sering melibatkan potongan cerun dan salah urus cerun yang bersifat tidak mesra alam sehingga memungkinkan berlaku pergerakan tanah yang boleh mengakibatkan kejadian tanah runtuh.\nOleh hal yang demikian, sistem pembangunan yang mampan perlu sentiasa ditekankan dan digalakkan agar tanah kekal lestari dan boleh menampung keberadaan dan kesejahteraan bagi hari mendatang. Pada masa yang sama, pemain industri yang beroperasi berlandaskan penggunaan sumber tanah perlu lebih aktif memainkan peranan bagi memastikan sistem pembangunan yang mampan dipraktikkan.\nSelain itu, isu kesesuaian guna tanah dalam cadangan pelaksanaan sesuatu projek pembangunan atau penerokaan untuk industri perumahan, pertanian, perladangan, penternakan dan pembalakan perlu diberikan perhatian yang tinggi bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh yang lebih serius. Projek pembangunan perlu bersandarkan kepada perancangan guna tanah dan hanya kawasan yang guna tanahnya sesuai sahaja yang sepatutnya dibenarkan untuk dibangunkan.\nSekiranya penggunaan sumber tanah secara tidak lestari berterusan, para saintis menjangkakan bahawa akan terdapat lebih banyak kejadian tanah runtuh yang bakal berlaku dan memberikan impak pada skala yang jauh lebih besar.\nKesan daripada kejadian tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan di negara ini wajar dijadikan pengajaran dan menjadi titik tolak untuk mengekalkan sumber alam yang berharga ini. Sokongan, tanggungjawab dan amalan terhadap pengurusan tanah yang lestari daripada pemain industri dapat menjamin kelangsungan keseimbangan ekosistem.\nPeranan yang dimainkan oleh masyarakat dan pihak berwajib dalam konteks pemuliharaan dan kelestarian tanah perlu dilihat kembali secara holistik. Pihak berkuasa yang berkaitan seharusnya bekerjasama bagi memantau dan mengawal aktiviti manusia yang boleh menjurus kepada berlakunya fenomena kejadian tanah runtuh.\nBagi memastikan sumber tanah ini terpelihara, terdapat keperluan untuk mewujudkan kaedah pengurusan tanah yang baik. Pengurusan tanah yang baik ini perlu menunjukkan kawasan tanah yang masih dalam keadaan baik, kawasan tanah yang telah diterokai, kawasan yang perlu diselamatkan dan kawasan yang perlu terus digazetkan.\nPengurusan tanah yang baik memerlukan kepada sistem pengurusan tanah yang sesuai, praktikal dan boleh diakses pada bila-bila masa. Sistem pengurusan ini perlulah mampu memaparkan kedudukan sesuatu kawasan tanah serta keadaan kawasan sekitar tanah tersebut. Dalam hal ini, aplikasi atau teknologi moden dan tercanggih perlu digunakan dengan meluas dalam mengenal pasti punca utama kejadian tanah runtuh.\nSistem Maklumat Geografi (GIS) adalah antara teknologi yang boleh digunakan dalam sistem pengurusan tanah. GIS membantu dalam memaparkan lokasi kawasan tanah yang terkesan, keadaan sekeliling, keadaan bentuk muka bumi dan maklumat lain secara geografi. Di samping itu, integrasi maklumat tanah juga boleh dilakukan dengan GIS\nGIS juga mampu memaparkan maklumat tambahan seperti pihak berkuasa yang terlibat dan sempadan pentadbiran yang berkaitan seperti sempadan negeri, daerah, mukim atau pihak berkuasa tempatan. Integrasi GIS dengan maklumat tanah yang efisien mampu membantu pihak yang bertanggungjawab mengenal pasti lokasi tanah, aktiviti yang berlaku di sesuatu kawasan serta memantau kawasan tanah yang berisiko dalam kawasan pentadbiran.\nKeupayaan GIS dalam memetakan kawasan berisiko tinggi dan kawasan tumpuan panas bagi kegiatan haram misalnya, memudahkan perkongsian maklumat dengan pihak berkuasa lain agar tindakan pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang dapat dilaksanakan dengan lebih efektif dan efisien. Oleh itu, GIS haruslah dimanfaatkan sebaik mungkin dalam sistem pengurusan tanah agar segala urusan dan pemantauan aktiviti berkaitan tanah dapat dilakukan dengan lebih berkesan.\nTanah merupakan sumber khazanah alam semula jadi yang tidak ternilai harganya. Pengabaian sumber tanah mendedahkan negara kepada bukan sahaja kejadian tanah runtuh malah pelbagai bencana yang merugikan ramai penduduk. Oleh itu, segenap lapisan masyarakat haruslah sama-sama berganding bahu dalam menyokong usaha kerajaan dan badan bukan kerajaan dalam melestarikan sumber tanah." "Konsep \u201cKerana Sayang Perlu Ditangan-Tangankan\u201d Memudahkan Penguasaan 3M?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPeribahasa Melayu ada menyebut, \u201cMelentur buluh biarlah dari rebungnya\u201d dan \u00a0apabila menginginkan pencapaian terbaik daripada anak-anak, maka perlulah mengasuhnya sedari kecil lagi. Begitu juga dengan penguasaan kemahiran membaca, mengeja dan mengira atau lebih dikenali sebagai 3M, perlu diperkenalkan sebagai pendidikan awal dan utama kepada anak-anak. Sebenarnya penulis berasa agak khuatir dengan perkembangan mutakhir tentang penguasaan 3M kanak-kanak sekolah rendah dalam bahasa Melayu terutamanya ketika era pandemik.\nSelama dua tahun Keluarga Malaysia telah menghadapi cabaran COVID-19 dari pelbagai aspek seperti kesihatan, ekonomi, dan pendidikan, yang kini sudah masuk ke fasa peralihan endemik sejak 1 April 2022 yang lalu. Pada masa pandemik, medium penyampaian pendidikan turut beralih mengikut kebiasaan baharu, iaitu daripada sistem pengajaran dan pembelajaran (PnP) bersemuka kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), yang dibantu oleh para ibu bapa sebagai alternatif bagi memastikan pembelajaran murid dapat berlangsung dengan lancar termasuklah murid Tahap Satu sekolah rendah agar tidak ketinggalan menguasai 3M.\nMaklumat murid yang gagal menguasai 3M acap kali terpapar di dada akhbar dan menjadi perbincangan terbuka di media sosial untuk mencari punca dan penyelesaian bagi masalah ini. Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Sabah, Mohammad Arif Sakaran menyatakan bahawa menerusi data yang dikumpulkan dua tahun lepas, hampir 12 000 orang murid gagal menguasai 3M di negeri tersebut. Begitu juga di negeri Johor, terdapat kira-kira 20 peratus daripada 131 281 orang murid Tahap Satu juga menghadapi hal yang sama berikutan kekangan pandemik.\nJumlah besar ini sebenarnya sangat membimbangkan dan menimbulkan persoalan berangkai. Bagaimanakah pula dengan data dari negeri-negeri lain? Adakah turut mengalami masalah yang sama? Sekiranya ya, apakah tindakan yang diambil oleh Pejabat Pendidikan Daerah Negeri masing-masing untuk menangani masalah ini daripada terus berlaku? Hal ini kerana kegagalan menguasai 3M dalam bahasa Melayu juga akan menyukarkan para murid menguasai mata pelajaran yang lain. Hal ini menyebabkan golongan ini ketinggalan pencapaiannya daripada rakan sebaya yang lain.\nPenulis mengikuti perkembangan usaha yang dilakukan dan diperkenalkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi sepanjang pandemik COVID-19 melanda negara. Percubaan yang berani dan komitmen yang begitu gigih daripada peneraju sistem pendidikan Malaysia apabila tidak putus-putus menyesuaikan dan mengadunkan \u00a0PnP dengan keadaan semasa.\nUsaha membawa semula saluran TV Pendidikan pada 6 April 2020 oleh Menteri Kanan (Pendidikan), YB Dr. Radzi Jidin dan memperkasakannya dengan jenama DidikTV, KPM, telah menyiarkan pelbagai mata pelajaran sekolah menerusi program pendidikan tersebut.\nSepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, saluran ini dilihat sebagai saluran yang dapat membantu murid yang mempunyai masalah akses internet di rumah dan seiring dengan pengaplikasian PdPR secara optimum terutamanya murid yang berada di luar bandar. Justeru itu, penglibatan ibu bapa atau penjaga sangat diperlukan demi memastikan anak-anak mengikuti PnP secara berjadual dan mengelak daripada berlakunya keciciran pembelajaran dan penguasaan 3M.\nSelain itu juga, kementerian turut memperkenalkan Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah (PLaN) sebagai sokongan PnP secara komprehensif dan holistik yang berasaskan sekolah untuk murid Tahun Dua dan Tahun Tiga bagi meningkatkan penguasaan dalam kemahiran 3M. Program ini dilaksanakan secara rintis mulai Mac 2020 yang melibatkan sekolah-sekolah rendah terpilih bagi melihat impak keberhasilannya dari semasa ke semasa sebelum diperluas ke sekolah di seluruh negara.\nMasalah menguasai 3M ini bukan sahaja berlaku pada era pandemik tetapi sudah menjadi polemik sebelum ini lagi. Kita belum lagi membicarakan tentang masalah jurang pendidikan antara golongan B40 atau murid luar bandar dengan golongan di bandar kerana hal itu akan membawa ke suatu persoalan yang lain dan memerlukan penelitian mendalam daripada pihak berwajib.\nSekiranya aspek 3M dalam bahasa Melayu tidak ditangani dengan berkesan dan terus menunjukkan trend peningkatan, bagaimanakah kita ingin membina legasi yang dapat meneruskan perjuangan bahasa Melayu di kemudian hari? Kegagalan ini juga akan melahirkan bangsa Malaysia yang mundur dan tidak berkualiti dalam pendidikan.\nKPM telah membuat pengumuman mulai 17 April 2022 dan 18 April 2022 bahawa sesi penggiliran murid sekolah rendah tidak dipraktikkan lagi dan semua murid akan hadir seperti lazimnya. Penulis percaya, pihak sekolah sudah bersiap sedia menghadapi sebahagian pelajar yang mempunyai masalah 3M dalam bahasa Melayu dengan mengaplikasikan modul sedia ada daripada Program Pemulihan Khas bagi murid sekolah rendah.\nNamun begitu, semakan modul juga perlu dilakukan agar pihak sekolah dapat mengukur keupayaan dan kebolehcapaian murid. Perekayasaan modul yang berasaskan penyelesaian masalah perlu diberikan secara autonomi kepada pihak sekolah kerana golongan pendidik ini lebih mengetahui dalam menentukan kaedah yang paling dinamik untuk murid sasaran.\nSelain memastikan bilangan murid sasaran tidak terlalu ramai dalam satu-satu kelas intervensi, satu perkara yang perlu diberi perhatian oleh para guru ialah mengelakkan pengabaian murid-murid yang tidak menguasai kemahiran ini. Perasaan membeza-bezakan murid perlu dipadamkan kerana situasi ini akan memberikan tekanan kepada golongan ini dari segi kognitif, sosial, emosi dan juga fizikal.\nPara guru yang semula jadi dikurniakan oleh-Nya sifat penyayang akan menjadi pencetus kepada murid untuk suka pergi ke sekolah. Hal ini bersesuaian dengan tema sambutan guru pada tahun ini, iaitu \u201cGuru Tunjang, Sekolah Sejahtera\u201d.\nPenulis kongsikan di sini pengalaman bersekolah pada tahun 1980-an, iaitu guru sekolah sentiasa memegang suatu benda yang ada kalanya bersaiz panjang dan pendek. Kadang kala diletakkan di celah ketiak ataupun dipegang sepanjang hari. Benda yang ditakuti oleh banyak murid, iaitu rotan dan apatah lagi dengan riak wajah para guru yang garang pada waktu itu menyebabkan murid sangat menghormati guru dan setiap pagi para murid didisiplinkan dengan aktiviti 3M.\nPara murid juga memahami konsep kerana sayang akan ditangan-tangankan tetapi ada batasnya untuk mendapat didikan secara langsung daripada guru. Apabila mengadu kepada ibu bapa akan perbuatan rotan atau dicubit oleh guru tersebut, anak-anak akan ditangan-tangankan lagi oleh ibu bapa kerana tidak belajar dengan baik di sekolah. Kesannya, murid akan menjadi lebih gigih untuk menguasai 3M dan\u00a0 tidak takut untuk pergi ke sekolah. Namun begitu, adakah konsep kerana sayang ditangan-tangankan itu relevan untuk menguasai 3M pada zaman globalisasi ini?\nWalaupun pelbagai prakarsa dilakukan oleh pihak KPM dan juga sekolah tetapi peranan ibu bapa juga sangat penting untuk membantu penguasaan 3M dalam bahasa Melayu berjalan lancar. Hal ini adalah untuk mengelakkan kebergantungan kepada guru semata-mata untuk mengatasi masalah ini.\nSebagai permulaannya, ibu bapa boleh menyediakan ruangan 3M di rumah bagi memotivasikan anak, membawa anak-anak ke kedai buku dan menjadikan amalan membaca bersama di rumah. Pemantauan ibu bapa dari rumah akan dapat membantu proses pembelajaran anak-anak di sekolah. Kita sedia maklum bahawa banyak ibu bapa yang bekerja namun kesibukan tersebut bukan menjadi alasan untuk ibu bapa tidak sanggup berkorban demi masa depan anak-anak yang menjadi tunjang dan aspirasi negara.\nJika hal ini menjadi bebanan kepada ibu bapa, adakah mereka bersetuju untuk mengembalikan konsep kerana sayang ditangan-tangankan oleh para guru untuk mendidik dengan tegas tetapi kaya dengan kasih sayang tanpa menyalahkan guru atas tindakan tersebut?\nUsah melihat konsep ini sebagai suatu penderaan tetapi untuk menghidupkan semula semangat dan disiplin para murid untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. Namun demikian, walau apa-apa pun caranya, semua pihak perlu menggembleng tenaga tanpa putus asa bagi memastikan para murid sekolah rendah dapat menguasai kemahiran 3M dengan jayanya.\n\u00a0\nProfesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad \u2212 Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia." "Banjir Monsun Timur Laut di Malaysia Semakin Membimbangkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Hujan lebat berterusan yang berlaku sejak 17 Disember 2022 telah mengakibatkan keadaan banjir yang melanda di kebanyakan negeri sepanjang musim monsun timur laut ini semakin membimbangkan.\nBerdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hingga jam 4.00 petang semalam, sebanyak lima buah negeri telah dilanda banjir, iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor. Kesemua mangsa banjir ditempatkan di 364 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Sebanyak 34 970 mangsa banjir ditempatkan di PPS termasuklah mangsa banjir di Terengganu (243 orang), Kelantan (105 orang), Pahang (11 orang), Johor (tiga orang) dan Perak (dua orang).\nBencana banjir yang semakin teruk ini telah mendorong kepada pembukaan Bilik Gerakan Banjir Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Negeri dan Kebangsaan. Pembukaan Bilik Gerakan Banjir CPRC Kebangsaan telah dibuka sejak semalam yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang pada setiap hari, manakala Bilik Gerakan Banjir CPRC Negeri telah dibuka di beberapa buah negeri yang dilanda banjir sahaja mengikut masa operasi tertentu.\nKetua Pengarah Kesihatan Malaysia berkata, \u201cDari 11 Disember 2022 hingga 19 Disember 2022, hanya satu kes COVID-19 telah dikenal pasti dalam kalangan mangsa banjir di Terengganu yang telah tamat menjalani isolasi pada 18 Disember 2022. Hingga kini, tiada kluster COVID-19 yang dilaporkan di PPS.\u201d\nWalau bagaimanapun, terdapat penularan penyakit berjangkit telah dikesan dalam kalangan mangsa banjir seperti jangkitan saluran pernafasan akut (301 kes), penyakit kulit (260 kes), gastroenteritis akut (14 kes), konjunktivitis (11 kes) dan cacar air (satu kes). Namun begitu, tiada kes tiroid, kolera, leptospirosis, penyakit tangan, kaki, dan mulut (HFMD) dan denggi dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir.\nAkibat banjir besar yang berlaku di Kelantan dan Terengganu ini telah menyebabkan beberapa buah fasiliti kesihatan di negeri berkenaan terjejas. Di Kelantan, Hospital Raja Perempuan Zainab dan Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh telah dimasuki air dan beberapa perkhidmatan telah diberhentikan untuk sementara waktu.\nSementara itu, hospital yang terjejas di Terengganu pula melibatkan empat buah hospital, iaitu Hospital Kemaman, Hospital Besut, Hospital Setiu dan Hospital Hulu Terengganu. Peningkatan paras air yang mendadak di kawasan yang berhampiran dengan hospital tersebut telah menyebabkan laluan ke hospital dan sekitarnya terputus.\nSelain hospital, fasiliti klinik dan pejabat kesihatan daerah di kedua-dua negeri tersebut turut terkesan dengan musibah ini. Oleh yang demikian, pihak yang terlibat telah mengambil inisiatif untuk mengatasi masalah ini, misalnya memindahkan operasi ke fasiliti kesihatan alternatif atau tidak beroperasi bergantung pada keadaan banjir yang dihadapi.\nOrang ramai perlu peka dengan arahan semasa pihak berkuasa dan sentiasa mengambil langkah penjagaan kesihatan seperti yang telah disarankan oleh KKM bagi mencegah penyakit berjangkit berkaitan dengan banjir." "Kegagalan Cerun Punca Kejadian Tanah Runtuh\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kegagalan cerun adalah antara punca berlakunya kejadian tanah runtuh yang kerap berlaku pada masa ini selain faktor musim tengkujuh dan hujan lebat yang berterusan.\nMenurut Pensyarah Kanan, Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah, Universiti Kebangsaan Malaysia, YBrs. Dr. Nor Shahidah Mohd Nazer dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia semalam yang membincangkan topik \u201cHujan Berterusan, Peka Tanda-Tanda Tanah Runtuh\u201c, tanda awal berlakunya kejadian tanah runtuh boleh dikategorikan kepada dua keadaan, iaitu di kawasan puncak cerun dan di bahagian bawah cerun.\n\u00a0\n\u201cTanda awal tanah runtuh yang sering terjadi di bahagian puncak atau di kawasan lereng ialah rekahan yang akan muncul secara selari terhadap cerun atau berserenjang dengan arah cerun itu. Rekahan ini akan melengkung yang menandakan terdapat zon yang mula bergerak di bahagian bawah cerun,\u201c katanya.\nMengulas lanjut, rekahan ini tidak sukar untuk dilihat dengan mata kasar tetapi ada kalanya tempoh kewujudan rekahan ini dengan masa tanah runtuh itu berlaku sangat singkat. Oleh sebab itu, kadangkala tanda ini tidak kelihatan dengan jelas pada mata pemerhatian orang awam.\nSelain itu, beliau turut menyatakan bahawa antara tanda lain berlakunya kejadian tanah runtuh di bahagian puncak termasuklah keadaan pokok yang menyandar. Hal ini adalah kerana pokok ini perlu dibezakan dengan pokok yang tumbang mengikut graviti mengarah ke arah kecerunan cerun.\nPokok yang tumbang sedemikian mempunyai faktor seperti pokok itu sudah berusia atau tanah sudah tidak mencengkam. Apabila pokok ini menyandar, hal ini menunjukkan kewujudan satah gelinciran secara putaran yang menyebabkan berlakunya pergerakan ke belakang untuk setiap elemen rigid yang berada di atas tanah runtuh.\nUntuk bahagian bawah cerun pula, tanda yang paling jelas dapat dilihat ialah aliran air yang mula keluar daripada cerun. Aliran air ini tidak banyak tetapi mencukupi untuk menggambarkan adanya pergerakan air aktif di dalam cerun di kawasan yang lebih dalam berbanding dengan keseluruhan cerun. Hal ini menunjukkan bahawa cerun mengalami pembasahan berterusan di bahagian dalam dan satah yang menyebabkan pergerakan cerun itu akan mula muncul di bahagian dalam cerun tersebut.\nTanda lain berlakunya kejadian tanah runtuh ialah pembenjolan di bahagian bawah cerun. Pembenjolan ini menunjukkan zon tanah itu telah mula berkumpul daripada bahagian dalam cerun. Oleh yang demikian, bahagian bawah cerun itu akan sedikit terkeluar di sebahagian kawasan tersebut. Ada kalanya, pembenjolan ini menggambarkan pergerakan secara perlahan-lahan yang sedang dialami oleh cerun dan menyebabkan cerun itu tidak gagal tetapi sebaliknya tanah itu hanya terhenti di bahagian kaki cerun atau bahagian atasnya.\nDalam konteks ini, cerun rayapan, iaitu cerun yang bergerak secara perlahan-lahan dalam tempoh masa yang lama juga menjadi satu daripada tanda awal untuk mengesan kejadian tanah runtuh. Pertumbuhan pokok yang condong di bahagian bawah dan tegak di bahagian atas di kawasan ini menunjukkan bahawa cerun itu mengalami tekanan yang berterusan akibat sifat bahan cerun itu yang merayap.\nMengulas lebih lanjut tentang kepekaan orang awam akan keadaan sekeliling sebelum melakukan sesuatu aktiviti, beliau berpendapat bahawa orang awam boleh menggunakan pendekatan tidak berstruktur, iaitu didikan pengetahuan tentang kawasan bercerun.\n\u201cOrang awam perlu memahami bahawa kawasan bercerun ialah kawasan yang akan mengalami kelemahan struktur apabila berlakunya hujan lebat dan berbahaya jika melakukan aktiviti di kawasan perbukitan,\u201c jelasnya.\nSementara itu, risiko untuk berlakunya kejadian tanah runtuh juga boleh berlaku walaupun hujan tidak lebat seperti yang berlaku di Batang Kali, Selangor baru-baru ini. Hal ini adalah disebabkan oleh pembasahan itu berlaku secara berterusan dan air yang meresap ke dalam tanah itu menyebabkan peningkatan paras air bawah tanah.\n\u201cLama-kelamaan, tempoh untuk paras air bawah tanah itu turun semula kepada paras yang lebih stabil itu singkat. Hal ini menunjukkan berlakunya pelemahan cerun yang berterusan di bahagian dalam. Cerun di Malaysia kebanyakannya ialah cerun tanah baki. Apabila paras air bawah tanah meningkat, keadaan ini menyebabkan terdapat zon yang melemah dan berada jauh di dalam bumi masih basah walaupun keadaan telah kering sekali gus menyebabkan pergerakan tanah secara besar-besaran,\u201c katanya lagi.\nMenjawab persoalan berkaitan dengan pembinaan jalan raya, perindustrian dan pembangunan di kawasan cerun dan tanah tinggi, beliau berpandangan bahawa tidak salah untuk membina jalan raya di kawasan perbukitan tetapi perlu melihat faktor kestabilan cerun yang lebih sesuai dan memerlukan lebih pemerhatian jika mahu meneroka kawasan ini sebagai kawasan pembangunan.\nMenurutnya, kawasan yang landai kebanyakannya telah digunakan untuk aktiviti perindustrian dan sebagainya. Oleh sebab itu, kawasan pergunungan dan perbukitan menjadi pilihan pihak tertentu untuk melaksanakan aktiviti yang dirancang. Tindakan ini juga adalah satu daripada akses di kawasan puncak dan terdapat juga penduduk yang tinggal di kawasan tersebut. Situasi ini sememangnya tidak dapat dielakkan.\n\u201cMasalah wujud apabila pihak yang terlibat terlepas pandang akan beberapa elemen penting semasa pembinaan jalan raya itu sendiri. Jika kawasan berkenaan pernah berlaku kejadian tanah runtuh, kawasan ini seharusnya perlu dielakkan untuk dijadikan sebagai laluan jalan raya. Hal ini adalah kerana sifat di dalam tanah itu sendiri, yakni apabila telah gagal, pembentukan satah itu akan berterusan untuk suatu tempoh yang lama. Hal ini mendedahkan potensi berlakunya pengulangan pergerakan tanah melalui pembentukan satah yang jauh lebih dalam,\u201d jelasnya." "Cakna Kesihatan dan Keselamatan Diri semasa Musim Banjir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Monsun timur laut atau musim tengkujuh yang dijangkakan melanda negara ini bermula November yang lalu hingga Mac tahun hadapan boleh mengakibatkan fenomena banjir sebagaimana yang berlaku kini.\nMenurut Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Rosnah Ramly semasa bersiaran langsung melalui aplikasi TikTok MyHealthKKM petang semalam, semasa musim banjir, masyarakat perlu lebih cakna akan keselamatan dan kesihatan diri.\nBeliau yang\u00a0 berkongsikan isu \u201cJaga Diri semasa Musim Banjir\u201d berkata, pada musim banjir, masyarakat akan terdedah kepada bahaya dari segi keselamatan dan penyakit bawaan air.\n\u201cKebiasaannya, masyarakat tidak mengambil langkah yang bersesuaian selain terpaksa mengambil risiko dengan meredah air banjir sehingga mendatangkan kecederaan dan bahaya kepada diri masing-masing,\u201c ujarnya.\nMangsa banjir berisiko untuk mendapat jangkitan penyakit bawaan air disebabkan oleh beberapa faktor seperti tidak mengamalkan kebersihan diri dan faktor persekitaran. Faktor persekitaran adalah daripada air banjir yang telah tercemar dengan najis haiwan, najis manusia, bangkai haiwan, bahan kimia dan sebagainya yang membolehkan berlakunya penyebaran kuman.\nTambah beliau, masyarakat yang terlibat dengan banjir perlu memastikan keselamatan diri kerana ketika meredah banjir mereka tidak dapat melihat sebarang bentuk bahaya seperti benda tajam, peralatan dan kabel elektrik yang terendam di dalam air, haiwan berbisa selain tidak boleh memastikan kedalaman banjir yang perlu diharungi.\nSemasa musim banjir, mangsa banjir, khususnya yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terdedah kepada penyakit bawaan air kerana penyakit ini sangat mudah merebak antara satu sama lain, terutamanya dalam keadaan suasana yang sesak dan berkongsikan pelbagai peralatan serta kemudahan.\nAntara penyakit bawaan air yang sering berlaku semasa musim banjir ialah cirit-birit, demam kepialu dan keracunan makanan yang disebabkan oleh kuman yang dibawa di dalam air banjir. Selain itu, penyakit leptospirosis atau lebih dikenali sebagai penyakit kencing tikus juga adalah antara penyakit yang boleh terjadi kepada mangsa banjir. Hal ini disebabkan oleh banjir akan memusnahkan sarang tikus, menghanyutkan bangkainya dan membawa bersama-sama air kencing tikus ke dalam air banjir tersebut dan seterusnya mendedahkan kuman tersebut kepada mangsa banjir, terutamanya bagi individu yang mempunyai luka.\n\u201cMangsa banjir juga berisiko mendapat penyakit konjunktivitis yang terjadi apabila individu menggosok mata dengan menggunakan tangan yang telah terdedah kepada air banjir ataupun percikan air banjir semasa sedang meredah banjir untuk berpindah,\u201d jelasnya dengan lebih lanjut.\nSelain itu, mangsa banjir, terutamanya golongan kanak-kanak juga mudah terdedah kepada penyakit tangan, kaki dan mulut. Penyakit ini sangat mudah merebak melalui sentuhan dan perkongsian barangan.\nBeliau berkata melioidosis juga adalah antara penyakit yang boleh berlaku semasa musim banjir. Penyakit ini disebabkan oleh air tercemar yang boleh mengakibatkan seseorang itu mengalami demam, sesak nafas dan bisul bernanah,\nTambahnya, selepas banjir surut, masyarakat perlu memastikan persekitaran rumah bebas daripada sampah sarap yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes yang menyebabkan penyakit demam denggi.\nMasyarakat perlu lebih cakna dan mengambil langkah persediaan sebelum berlakunya banjir kerana pihak kerajaan sentiasa melakukan hebahan berkaitan dengan ramalan cuaca melalui agensinya, iaitu Jabatan Meteorologi Malaysia.\nSementara itu, masyarakat juga perlu memastikan suis utama rumah ditutup bagi mengelakkan berlakunya renjatan elektrik ketika musim banjir ini. Semasa meredah banjir, pemakaian kasut yang bersesuaian adalah penting untuk mengelakkan kecederaan selain membawa kayu untuk memastikan kedalaman air dan keadaan tanah yang perlu dilalui.\nBagi mangsa banjir yang mempunyai penyakit, mereka perlu menyediakan ubat-ubatan dan rekod perubatan masing-masing untuk memudahkan proses rawatan mereka di PPS. Mangsa banjir juga perlu memastikan keselamatan makanan yang dimakan dengan mengelakkan makan makanan mentah, sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan menutup luka yang ada bagi mengelakkan kuman daripada memasuki badan.\nJelas beliau lagi, mangsa banjir yang berasa tertekan dan emosi terjejas akibat kehilangan harta benda dan sebagainya, mereka dinasihatkan untuk berjumpa dengan pasukan kesihatan yang ditempatkan di PPS bagi mendapatkan khidmat kaunseling.\nSelepas banjir, masyarakat perlu berhati-hati ketika membersihkan rumah dan kawasan persekitaran kerana lumpur yang melekat telah tercemar dengan kuman. Lindungilah diri dengan memakai peralatan perlindungan diri bagi mengelakkan sebarang penyakit.\n\u201cPara sukarelawan banjir juga perlu memastikan bahawa tahap kesihatan diri masing-masing sebelum turun ke lokasi banjir. Jika ada antara sukarelawan yang mengalami simptom penyakit bawaan air selepas menyelesaikan misi bantuan, mereka perlu mendapatkan rawatan dengan segera dan memaklumkan hal tersebut kepada pegawai perubatan agar lebih mudah untuk didiagnosis,\u201d katanya.\nDi PPS, KKM telah menyediakan pasukan perubatan yang akan memberikan rawatan, pasukan kesihatan yang akan memantau dan memberikan nasihat selain pasukan kesihatan mental yang membantu memberikan kaunseling kepada individu yang memerlukan.\nSebelum mengakhiri perkongsiannya, beliau menyatakan bahawa KKM akan sentiasa berkongsikan panduan dan nasihat berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan masyarakat semasa musim banjir dari semasa ke semasa." "Mengenali Rumput Premium Piala Dunia 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam saingan perlawanan bola sepak yang serba kompetitif, setiap faktor yang menyumbang kepada kualiti persembahan dan kelancaran permainan adalah diambil kira, khususnya dalam kejohanan bertaraf dunia yang melibatkan penajaan, pemasaran, dan pengiklanan yang paling luas di dunia. Kejohanan bertaraf dunia yang dimaksudkan ialah kejohanan bola sepak Piala Dunia F\u00e9d\u00e9ration Internationale de Football Association (FIFA) edisi terkini yang telah berlangsung di Qatar sejak November hingga 18 Disember lalu.\nSatu daripada faktor penting yang amat diberikan perhatian dalam Piala Dunia FIFA yang selalu disebut sebagai Piala Dunia ialah gelanggang permainan yang merujuk permukaan padang. Sudah tentulah yang dimaksudkan ialah penggunaan rumput yang memberikan impak optimum kepada persembahan dan permainan bagi setiap pasukan yang bertanding.\nBagi Qatar, selaku tuan yang rumah yang kaya dengan hasil pendapatan minyak, pembinaan kompleks sukan dan stadium berkapasiti besar bukanlah menjadi suatu masalah. Namun begitu, masalah sebenar timbul apabila negara tersebut berhadapan dengan suhu yang ekstrem hingga menyebabkan suhu pada permukaaan padang mencecah 100 darjah Celcius, khususnya antara Mei hingga September. Hal ini secara langsung mempengaruhi pertumbuhan rumput yang meliputi permukaan padang menjelang pertandingan yang bakal berlangsung tidak sampai dua bulan selepas itu.\nWalaupun Qatar telah menyediakan sistem penyejuk di atas permukaan padang, hasil teknologi yang dirintis oleh Dr. Saud Ghani yang membina sistem penyejuk seperti pendingin yang boleh menyejukkan kereta tetapi dalam skala yang lebih besar. Namun begitu, kriteria yang paling utama ialah pemilihan rumput yang hendak digunakan.\nBerkenaan dengan jenis rumput yang digunakan, berjuta-juta benih rumput telah diimport dari Amerika Syarikat untuk kegunaan permukaan padang di lapan buah stadium utama dan 136 kawasan latihan. Setiap permukaan padang itu memerlukan sebanyak 50 ribu liter air sehari ketika musim panas bagi mengelakkan rumput menjadi kasar, kering dan keras.\nAir yang banyak diperoleh melalui proses penyahgaraman air laut seperti yang dilaporkan oleh Joe Bernstein dalam artikelnya yang berjudul \u201cREVEALED: World Cup organisers have flown hundreds of tons of grass seed from the US and faked winter conditions to perfect pitches in Qatar. with a farm north of Doha the size of 40 pitches growing reserve grass just in case!\u201d yang dikemaskini dalam Daily Mail pada Oktober 2022.\nPembekal rumput yang telah dilantik oleh penganjur Piala Dunia FIFA 2022 ialah Atlas Turf International yang berpengalaman luas dalam pembangunan dan penyelidikan tentang rumput komersil yang digunakan di serata dunia, khususnya di padang golf, latihan padang dan stadium.\nDalam Piala Dunia FIFA 2022 yang diadakan di Qatar, jenis rumput yang telah dipilih secara rasmi oleh penganjur ialah Platinum TE\u2122 Paspalum. Antara kelebihan rumput ini termasuklah:\nSeperti yang telah dinyatakan sebelum ini, keadaan cuaca Qatar yang ekstrem telah menyebabkan kajian tentang rumput yang meliputi permukaan padang stadium dan kawasan latihan dilakukan dengan penuh teliti. Penganjur Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar telah melantik Aspire Sports Turf (AST) untuk mengadakan pengujian menyeluruh terhadap semua rumput yang dicadangkan oleh firma perunding rumput sukan antarabangsa, iaitu STRI Group.\nPenyelidikan awal tentang rumput untuk kegunaan Piala Dunia FIFA 2022 telah bermula sejak 10 tahun lalu, iaitu pada tahun 2012. Platinum TE\u2122 Paspalum ditanam di padang latihan di pusat kemudahan bola sepak Zon Aspire di Doha. Pada tahun 2014, STRI yang berpangkalan di United Kingdom turut mencuba pelbagai spesies rumput lain termasuklah Zoysia dan Bermuda. Percubaan uji kaji telah dilakukan termasuklah dengan mensimulasikan pelbagai cabaran yang berkemungkinan berlaku di Qatar. Antara simulasi yang dijalankan termasuklah toleransi keteduhan, toleransi ketahanan, kadar pertumbuhan dan pemulihan daripada kecederaan.\nSelepas tiga tahun percubaan dilakukan, keputusan menunjukkan bahawa Platinum TE\u2122 Paspalum ialah rumput yang paling sesuai digunakan untuk mengharungi cabaran lokasi dan jangkaan luar biasa bagi memenuhi piawaian prestasi padang rumput berkualiti Piala Dunia.\nUntuk pengujian menyeluruh, AST perlu memastikan kualiti rumput di setiap padang adalah sama. Keadaan ini adalah sangat mencabar kerana proses ini memerlukan penelitian yang sangat tinggi. Bagi memenuhi tuntutan tersebut, pengurus rumput telah dilantik untuk menjadualkan dan mengkoordinasikan rancangan agronomi di setiap lokasi yang diselianya.\nSetiap hari, pengurus rumput perlu mengambil ukuran harian untuk memastikan setiap padang menepati piawaian yang telah ditetapkan. Antara pengukuran harian yang diambil kira termasuklah ketegasan padang, kelembapan tanah, kekuatan tegangan dan ketahanan, terutamanya apabila bola bergolek di atas padang. Selain itu, ketinggian potongan rumput hendaklah konsisten di setiap lokasi.\nDi dalam stadium, cabaran terbesar ialah bayangan yang terhasil oleh reka bentuk stadium itu sendiri. Dengan keadaan cuaca yang ekstrem, sudah tentu kebanyakan stadium di Qatar mempunyai reka bentuk yang membataskan pendedahan matahari berjam-jam di padang. Disinilah kelebihan Platinum TE\u2122 Paspalum yang tidak memerlukan tempoh pendedahan yang lama kepada cahaya untuk mengekalkan pertumbuhan dan menyimpan karbohidrat daripada fotosintesis. Dalam tempoh yang singkat sahaja, rumput ini sudah mampu mengekalkan tenaga untuk terus hidup.\nKualiti air juga menjadi cabaran dalam Piala Dunia FIFA 2022 memandangkan Qatar terletak di kawasan teluk. Kebiasaannya, negara di kawasan teluk menggunakan air penyahgaraman untuk mengairi rumput dan landskap. Apabila populasi mula berkembang, kos penggunaan air penyahgaraman telah menjadi tinggi. Bagi mengatasi masalah tersebut, satu daripada kaedah yang paling efektif dan menjimatkan kos ialah menggunakan air kumbahan terawat yang disebut sebagai efluen kumbahan terawat (TSE) yang mengandungi garam dan unsur lain yang tinggi.\nDalam konteks pertumbuhan rumput, Platinum TE\u2122 Paspalum mengalami pertumbuhan yang jauh lebih baik daripada Zoysia dan Bermuda apabila diairi dengan TSE. Hal ini disebabkan oleh tumbuhan paspalum mampu menyerap klorida dan unsur lain daripada air tersebut walaupun mempunyai tahap ketoksikan yang agak tinggi.\nBagi memastikan kualiti padang konsisten dengan piawaian yang ditetapkan, pasukan yang menguruskan turf AST telah berkampung di Qatar selama beberapa tahun sebelum Piala Dunia FIFA 2022 diadakan. Tempoh yang lama ini menjadikan pengurus lapangan cukup berpengalaman dan mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang nuansa padang yang mereka kekalkan. Zon Aspire menjadi pusat penyelidikan utama kerana dilengkapi dengan teknologi terkini dan mempunyai keupayaan untuk mendiagnosis keadaan lapangan di kawasan tapak.\nPenyelidikan rumput Platinum TE\u2122 Paspalum sebenarnya telah dibangunkan oleh Turf Ecosystems. Tokoh yang dinisbahkan dengan kerja penyelidikan rumput ini ialah Dr. Ron R. Duncan. Beliau telah memperkenalkan rumput Platinum TE pada tahun 2007 dan mematenkannya sebagai rumput premium turf.\nRumput ini dianggap premium kerana mempunyai nilai estetika yang tinggi, iaitu berwarna hijau yang lebih gelap daripada kultivar rumput lain dan menghasilkan keupayaan jaluran yang unggul. Bilah daunnya yang halus dan jarak internod yang rapat menghasilkan permukaan kanopi yang sangat padat yang menyediakan susunan pola yang luar biasa di samping tahap boleh tempel yang sangat tinggi.\nWalaupun dalam keadaan keamatan cahaya yang rendah, rumput ini mempamerkan prestasi pertumbuhan dan kemampanan yang unggul. Hal ini menjadikan rumput ini sesuai ditanam dan hidup di kawasan dengan corak iklim mendung atau hujan yang berterusan dan kualiti cahaya yang kurang.\nKepremiuman rumput ini terserlah menerusi keupayaannya mempamerkan toleransi garam yang tinggi dan rintangan penyakit daun yang sangat baik. Rumput ini mudah terbentuk dengan cepat dari ranting dan tumbuh secara agresif daripada stolon. Hal ini menjadikan rumput ini mudah tumbuh tetapi tidak menjadi tinggi menerusi tindak balas kepada perubahan fotokala atau pendedahan tekanan persekitaran walaupun pada kadar yang minimum. Dengan kadar toleransi dan kepelbagaian pemotongan yang tinggi, iaitu antara 0.070 inci hingga 1.500 inci, rumput ini menjadi pilihan yang tepat untuk mana-mana kawasan padang golf atau lapangan sukan yang memerlukan permukaan padang yang baik.\nHasil kajian Dr. Duncan telah mendapat pengiktirafan dan sambutan yang menggalakkan daripada pemilik dan pemaju lapangan sukan. Rumput ini telah ditanam di 230 tempat berprestij di seluruh dunia yang meliputi padang golf, padang besbol, stadium bola sepak, stadium ragbi dan kompleks sukan American Football.\nAntara lapangan sukan yang telah ditanam dengan rumput premium ini di rantau Asia termasuklah di NARA Binh Tien Golf and Beach Resort yang terletak di Ninh Thuan, Vietnam; Aquella Golf and Country Club di Bangkok, Thailand; dan Yas Island Links Golf di Abu Dhabi, United Arab Emirates." "KKM Komited Memantau Rapi Perkembangan Jangkitan COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Malaysia telah memasuki fasa peralihan endemik bermula pada 1 April 2022 semasa negara masih lagi diwartakan sebagai kawasan tempatan jangkitan COVID-19. Sempadan negara telah dibuka kepada pelancong dari luar negara serta aktiviti industri pelancongan dan sektor ekonomi lain telah dipertingkatkan. Oleh itu, dengan mengambil kira negara ini mempunyai risiko kemasukan kes COVID-19 dari luar negara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respons bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes dan kematian disebabkan oleh COVID-19.\nMenerusi sidang media Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 21 Disember 2022 yang lalu, Ketua Pengarah WHO, YBrs. Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus tidak menafikan bahawa pada awal tahun 2022, gelombang yang terjadi akibat varian Omicron telah menyebabkan berlakunya peningkatan kes dan kematian yang mendadak. Namun begitu, berdasarkan data COVID-19 semasa yang dilaporkan kepada WHO, trend pandemik ini secara keseluruhannya telah berada dalam keadaan yang terkawal di kebanyakan negara di seluruh dunia.\nWalau bagaimanapun, WHO turut menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan mendadak kes COVID-19 yang berlaku di China. Golongan pakar dan penyelidik pada peringkat antarabangsa menjangkakan situasi ini akan berlaku susulan keputusan pihak berkuasa negara China pada sekitar awal Disember 2022 yang lalu untuk melaksanakan kelonggaran terhadap polisi pengurusan pandemik COVID-19 yang sebelum ini lebih ketat.\nMenurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Seri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan medianya hari ini, KKM telah melaksanakan beberapa langkah pencegahan dalam menghadapi risiko peningkatan kes COVID-19. Langkah pertama, KKM meningkatkan peratusan individu yang layak menerima vaksin dos penggalak bagi mengurangkan penularan jangkitan, jangkitan serius dan kematian. Semua individu yang layak disarankan untuk mendapatkan vaksin dos penggalak supaya populasi Malaysia mendapat perlindungan yang optimum terhadap penyakit COVID-19.\nLangkah kedua, KKM juga mengukuhkan pengurusan COVID-19 melalui pendigitalan pengurusan kesihatan dengan menambah baik pengurusan COVID-19 menerusi pendekatan Find, Test, Trace, Isolate and Support (FTTIS) yang diautomasikan. Melalui pendekatan ini, individu yang menjalani ujian pengesanan COVID-19 kendiri boleh melaporkan keputusan ujian mereka ke dalam aplikasi MySejahtera, selain melakukan ujian tersebut di fasiliti kesihatan. Keputusan ujian akan segera dikemas kini dalam sistem MySejahtera pengguna. Kes positif akan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian serta Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian secara digital dan tidak perlu hadir di pejabat kesihatan daerah mahupun Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), melainkan jika perlu menjalani pemeriksaan lanjut setelah mengisi Penilaian Kendiri semasa Kuarantin di Rumah (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.\nLangkah pencegahan yang ketiga adalah dengan memastikan semua CAC yang beroperasi secara fizikal ataupun maya bersedia dalam menerima kedatangan pesakit atau panggilan daripada pesakit untuk membuat penilaian terhadap pesakit yang disahkan positif jangkitan COVID-19.\nLangkah keempat, KKM turut memperkenalkan penggunaan ubat antiviral Paxlovid\u00ae (Nirmatrelvir/Ritonavir) dalam COVID-19 Clinical Care Pathway sejak 15 April 2022 dalam kalangan pesakit yang menerima rawatan di klinik kesihatan, CAC dan hospital KKM. Ubat antiviral oral pertama di Malaysia ini merawat pesakit COVID-19 yang mengalami gejala ringan hingga sederhana ataupun kategori dua dan kategori tiga. Keutamaan pemberian rawatan ubat ini adalah kepada kumpulan pesakit COVID-19 yang berisiko tinggi.\nSelain itu, rawatan ini juga diperluaskan ke fasiliti kesihatan swasta bagi memastikan akses yang lebih baik kepada pesakit bermula 20 Jun 2022. Pemberian ubat ini kepada pesakit di fasiliti kesihatan swasta adalah secara percuma, namun pesakit masih tertakluk kepada caj khidmat rundingan dan caj lain yang ditentukan oleh fasiliti kesihatan swasta tersebut.\nKKM juga memantau rapi penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan masyarakat melalui pelaksanaan aktiviti survelan yang melibatkan lokasi sentinel influenza-like illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) di seluruh negara. Aktiviti ini turut disokong dengan aktiviti penjujukan genom menyeluruh bagi mengesan varian baharu dan aktiviti survelan persekitaran melalui persampelan air kumbahan dari lokasi persampelan yang dikenal pasti di seluruh negara.\nInisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang bertujuan untuk memperkasakan kawalan kendiri kesihatan merangkumi pemerkasaan individu dalam mengambil tindakan pencegahan penyakit, menilai status kesihatan diri, memastikan kepatuhan rawatan dan mengamalkan kebiasaan baharu, iaitu penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan dan pemakaian pelitup muka juga digerakkan di semua peringkat.\nANMS turut memberikan tumpuan kepada pemerkasaan komuniti dalam membudayakan hidup sihat. Malaysian Health Community Agent (MyCHAMPION) adalah satu daripada platform kolaborasi merentasi pelbagai kementerian, organisasi sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan sebagai rakan strategik berperanan dalam membantu KKM melaksanakan inisiatif dan aktiviti promosi kesihatan pada peringkat komuniti.\nMasyarakat perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat dan selamat bagi menghindarkan diri daripada bahaya jangkitan COVID-19 dan penyakit berjangkit yang lain. Bagi individu yang berisiko tinggi termasuklah individu yang mempunyai komorbid amat digalakkan untuk memakai pelitup muka, terutamanya di kawasan atau tempat yang sesak. Individu yang bergejala juga digalakkan untuk memakai pelitup muka dan menjalankan ujian COVID-19 kendiri.\nPemantauan perkembangan penularan jangkitan COVID-19 di dalam negara dan di luar negara akan terus dilaksanakan oleh KKM melalui maklumat yang diperoleh daripada WHO. KKM akan memastikan pelbagai langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan." "Sistem Janji Temu di Fasiliti Kesihatan Primer Diperluas menerusi Aplikasi MySejahtera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sistem janji temu melalui aplikasi MySejahtera yang sedia ada di semua fasiliti kesihatan primer akan diperluaskan sebagai langkah mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan dan akses pelanggan di fasiliti kesihatan tersebut.\nMenurut Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berdasarkan kenyataan media hari ini, antara perkhidmatan yang akan dimasukkan dalam sistem janji temu tersebut termasuklah rawatan pesakit luar, inisiatif saringan kesihatan kebangsaan (NHSI), saringan kesihatan PeKa B40, pemeriksaan kesihatan prapekerjaan atau prapengajian, saringan praperkahwinan, khidmat berhenti merokok (KBM), perkhidmatan perancang keluarga dan prosedur untuk rawatan luka, penukaran tiub dan sebagainya.\nTambah beliau, sistem ini bertujuan untuk membantu fasiliti kesihatan primer dalam mengatur jadual perkhidmatan berdasarkan kapasiti masing-masing dan mengelakkan kesesakan di tempat pendaftaran dan menunggu.\nPerkhidmatan ini telah dimulakan di 673 buah klinik kesihatan secara berfasa, yakni bermula dengan saringan NHSI, PeKa B40, KBM dan akan diperluaskan kepada perkhidmatan lain secara berperingkat.\nMengulas dengan lebih lanjut, beliau menyatakan bahawa pelanggan akan memperoleh pelbagai kelebihan apabila menggunakan sistem janji temu ini. Antaranya ialah pelanggan dapat merancang lawatan ke fasiliti kesihatan primer mengikut kesesuaian masa dan boleh mengubah tarikh janji temu dengan mudah tanpa perlu membuat panggilan ke talian fasiliti kesihatan.\nSelain itu, fungsi peringatan automatik (automated reminder) yang terdapat dalam sistem janji temu ini juga membolehkan pelanggan menghadirkan diri ke fasiliti kesihatan mengikut masa dan tarikh yang telah ditempah. Orang ramai boleh terus ke fasiliti kesihatan tanpa perlu membuat janji temu untuk kes kecemasan, kes demam atau penyakit berjangkit.\nSistem janji temu dalam aplikasi MySejahtera bagi tahun 2023 telah mula sepenuhnya dan tempahan boleh dilakukan bermula pada hari ini.\nHal ini menunjukkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa komited dalam usaha ke arah pendigitalan sistem kesihatan agar sejajar dengan Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) 2021-2025 KKM di bawah Teras Strategik Dua, iaitu Pemantapan Teknologi Baharu.\n\u201cDengan adanya pendigitalan sistem perkhidmatan kesihatan ini diharapkan dapat mempromosikan program kesihatan di bawah fasiliti kesihatan primer kepada masyarakat dengan lebih berkesan dan menjadikan sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan di negara ini lebih efisien,\u201c katanya lagi." "Cakna dan Waspada: Ameba Pemakan Otak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati bahawa tiada kes jangkitan Naegleria Fowleri dilaporkan berlaku di Malaysia hingga kini. Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia dinasihatkan agar berhati-hati dan mengambil langkah yang sewajarnya semasa melakukan aktiviti berkaitan dengan air tawar.\nKebimbangan penularan kes ini adalah disebabkan oleh laporan berita berkenaan dengan kes pertama jangkitan Naegleria Fowleri yang berlaku di Korea Selatan. Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) telah mengesahkan bahawa seorang lelaki warga Korea Selatan yang berusia dalam lingkungan 50 tahun telah meninggal dunia selepas dijangkiti ameba Naegleria Fowleri. Lelaki tersebut dilaporkan telah menetap di sebuah negara di Asia Tenggara selama empat bulan sebelum kembali ke Korea Selatan pada 10 Disember 2022 yang lalu.\nMenurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Seri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan medianya, Naegleria Fowleri ialah ameba termofilik atau dikenali sebagai organisma sel tunggal protozoa yang boleh ditemukan di seluruh dunia, terutamanya di dalam habitat air tawar seperti tasik, kolam, sungai, mata air panas dan di dalam tanah. Namun begitu, ameba ini tidak ditemukan di dalam air masin seperti di lautan. Tambah beliau:\nAmeba Naegleria Fowleri juga dikenali sebagai \u2018ameba pemakan otak\u2019 kerana berupaya menyebabkan kerosakan pada otak melalui jangkitan sistem saraf tunjang. Ameba ini juga mampu untuk masuk ke dalam badan manusia melalui hidung semasa melakukan aktiviti berkaitan dengan air tawar. Walau bagaimanapun, tiada bukti jangkitan ini boleh merebak melalui wap air atau titisan aerosol.\nJangkitan otak yang teruk seperti primary amoebic meningoencephalitis (PAM) adalah satu daripada kesan jangkitan ameba ini dan boleh membawa maut. Pada peringkat awal, gejala PAM menyerupai gejala meningitis yang disebabkan oleh bakteria atau virus lain, misalnya sakit kepala, demam, loya atau muntah. Selain itu, gejala yang lebih serius juga boleh berlaku seperti kekakuan leher, kekeliruan, kurang kesedaran terhadap orang lain dan persekitaran di sekelilingnya, sawan, halusinasi dan koma.\nPada kebiasaannya, gejala ini muncul sekitar lima hari selepas jangkitan (tempoh inkubasi) dan boleh muncul seawal satu hari atau selewat-lewatnya 12 hari selepas dijangkiti. Tambahan pula, keadaan pesakit juga boleh bertambah teruk dengan cepat, iaitu dalam tempoh lima hari dan kematian boleh berlaku dalam tempoh satu hari hingga 18 hari daripada permulaan berlakunya gejala.\nPenyakit ini didiagnosis melalui pengesanan asid nukleik Naegleria Fowleri di dalam cecair tulang belakang atau tisu otak individu yang dijangkiti. Pemberian gabungan ubat-ubatan adalah satu daripada rawatan untuk mengubati penyakit ini, namun rawatan tersebut adalah sangat terhad disebabkan oleh perkembangan penyakit ini yang berlaku dengan sangat cepat.\nOrang ramai dinasihatkan agar mengelakkan daripada menggali atau mengusik apa-apa sedimen yang berada di dasar tasik, kolam atau sungai kerana habitat ameba biasanya berada di kawasan berkenaan. Aktiviti seperti menyelam atau melompat ke dalam air yang berkemungkinan dicemari oleh ameba boleh memasuki rongga hidung secara terus juga perlu dielakkan.\nPada masa yang sama, KKM juga menyarankan supaya orang ramai supaya sentiasa mencuci badan dengan air yang terawat dan sabun selepas melakukan aktiviti di dalam air serta segera mendapatkan rawatan apabila mengalami gejala penyakit ini secara tiba-tiba.\nDalam konteks ini, KKM akan terus memantau rapi situasi jangkitan Naegleria Fowleri sama ada di dalam negeri atau di luar negeri dari semasa ke semasa bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat terjamin. KKM juga sentiasa komited dalam menyalurkan sebarang informasi yang tepat dan responsif jika terdapat perkembangan terbaharu tentang penyakit berkenaan." "Manfaatkan Teknologi Angkasa untuk Kesejahteraan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cTeknologi angkasa telah mula dimanfaatkan sejak tahun 1988 lagi. Setelah lebih daripada 20 tahun, rakyat Malaysia telah memanfaatkan sekurang-kurangnya tiga jenis teknologi angkasa secara keseluruhannya dari semasa ke semasa.\u201d\nDemikian kupasan daripada Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), YBrs. Gs. Haji Azlikamil Napiah semasa sesi temu bual dalam slot rancangan TV AlHijrah, semalam.\nMenurut beliau, antara teknologi angkasa yang dimanfaatkan itu adalah sebagai penentu kedudukan di muka bumi. Kedua, teknologi ini juga digunakan sebagai teknologi yang berkaitan dengan komunikasi seperti televisyen, telefon dan radio yang bergantung pada satelit yang telah dirancangkan. Ketiga ialah kegunaan teknologi satelit yang merujuk penggunaan maklumat permukaan bumi yang dikenali sebagai teknologi penderiaan jauh.\nTambah beliau, teknologi penderiaan jauh ini banyak dimanfaatkan dalam pelbagai bidang termasuklah bagi aspek pengurusan kehidupan, pengurusan sumber, bencana, keselamatan dan sebagainya. Pada hakikatnya, teknologi penderiaan jauh ini telah dibangunkan dari segi huluan dan hilirannya hingga hari ini.\nMenjawab persoalan berkenaan dengan manfaat teknologi angkasa dalam kehidupan, beliau menjelaskan bahawa keistimewaan teknologi angkasa ini menawarkan pelbagai aspek dalam pengurusan. Hal ini adalah disebabkan oleh keadaan negara yang kini berhadapan dengan kecelaruan cuaca dan pelbagai proses kehidupan di luar jangkaan.\nBeliau turut memaklumkan bahawa teknologi angkasa menawarkan beberapa perkara. Tawaran pertama adalah dari segi pengurusan sistem keselamatan makanan. Sebagai contohnya, nelayan boleh menentukan lokasi untuk menangkap ikan dengan menggunakan teknologi ini.\nTawaran kedua pula ialah para petani dapat dibantu dengan adanya teknologi angkasa. Hal ini jelas dapat dilihat apabila MYSA bekerjasama dengan Jabatan Pertanian untuk membantu menguruskan 12 jelapang padi di seluruh negara agar petani dapat memantau, merancang dan akhirnya memastikan pengeluaran padi di negara ini dapat dihasilkan sepertimana yang dijangkakan. Tambah beliau lagi:\nTeknologi angkasa juga menawarkan pelbagai maklumat permukaan bumi. Sebagai khalifah di muka bumi ini, kita memerlukan instrumen yang penting untuk mengurus muka bumi ini. Oleh sebab itu, teknologi angkasa dapat digunakan untuk memudahkan kehidupan manusia dalam mengurus urusan seharian.\nSeterusnya, maklumat yang dikumpul oleh satelit biasanya berulang-ulang. Oleh yang demikian, masyarakat akan dapat melihat rentetan maklumat yang lengkap sekali gus membantu manusia melaksanakan segala aktiviti dengan baik.\nDi samping pelbagai manfaat daripada penggunaan teknologi angkasa ini, terdapat juga pelbagai cabaran yang perlu dihadapi. Antara cabarannya adalah dari segi pemahaman dan penerimaan masyarakat terhadap teknologi angkasa yang bukan sahaja berkaitan dengan angkasawan dan satelit tetapi maklumat yang diperoleh dapat dimanfaatkan untuk menjana pelbagai aplikasi.\nWalau bagaimanapun, cabaran ini semakin baik apabila negara di seluruh dunia menghadapi cabaran seperti perubahan cuaca dan ancaman pandemik. Di sinilah pentingnya teknologi supaya masyarakat tidak lagi berhadapan secara fizikal dan adanya teknologi atau medium yang boleh mengawal sesuatu dari jauh.\nSementara itu, program Eksplorasi Aeroangkasa Malaysia 2030 adalah satu daripada program besar di bawah Dasar Angkasa Negara 2030 dan MYSA bertanggungjawab untuk memastikan pelaksanaannya. Program ini mempunyai satu ekosistem yang lengkap daripada pengguna, pembangun sektor angkasa, sektor bumi dan menjana ilmu kepakaran tempatan. Program ini sememangnnya sedang rancak dijalankan supaya negara memiliki kepakaran dan memanfaatkan sepenuhnya teknologi angkasa untuk tujuan pembangunan dan kesejahteraan negara.\nDalam sesi temu bual tersebut, beliau juga memaklumkan bahawa program Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi atau lebih dikenali sebagai program LIMA yang akan diadakan di Langkawi bersama-sama penganjurnya pada tahun hadapan akan diwujudkan kluster yang khusus untuk memaparkan teknologi angkasa. Kelainan ini seharusnya dapat dimanfaatkan oleh masyarakat untuk memahami, mendalami dan menerima penggunaan teknologi angkasa dalam kehidupan.\nMengulas dengan lebih lanjut, beliau berpandangan bahawa sekiranya teknologi ini dapat dibangunkan dengan kepakaran tempatan yang mencukupi dan mendapat sokongan daripada semua pihak, teknologi angkasa berpotensi untuk menyumbang kepada sumber ekonomi baharu negara menjelang tahun 2023 dan menyediakan peluang pekerjaan baharu kepada generasi muda yang kini berkecimpung dalam teknologi angkasa sama ada pada peringkat pelajar atau dalam bidang industri. Pada masa yang sama, MYSA mensasarkan Malaysia akan menjadi antara tiga negara teratas dalam memanfaatkan teknologi angkasa." "KKM Memantau Rapi Situasi Semasa COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meningkatkan kaedah pembendungan penularan jangkitan COVID-19 di dalam negara dan kesiapsagaan bagi berhadapan dengan sebarang kemungkinan peningkatan kes COVID-19.\nDemikian menurut Menteri Kesihatan, YB Dr. Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan media hari ini. Beliau memberikan perhatian serius terhadap kebimbangan rakyat berhubung kenaikan kes COVID-19 di China dan sekatan yang telah dibuat oleh beberapa buah negara lain terhadap pengembara dari China. Hal ini sememangnya menjadi keutamaan KKM pada masa ini.\nMenurutnya lagi, dengan pelanjutan Malaysia sebagai \u201ckawasan tempatan jangkitan\u201d hingga Jun 2023, perkara ini memberikan ruang kepada KKM untuk mengambil sebarang tindakan segera apabila diperlukan termasuklah mengubah dasar yang sedia ada, terutamanya penjagaan kesihatan pengurusan pandemik COVID-19 di sempadan negara serta memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan di semua pintu masuk negara.\nTambah beliau, tindakan ini akan dilaksanakan bukan sahaja kepada pengunjung atau pengembara (warganegara Malaysia dan bukan warganegara) yang tiba dari China, malah bagi mereka yang tiba dari semua negara di dunia. KKM juga sentiasa bersedia dalam meningkatkan kapasiti kesihatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.\nPerbincangan antara KKM dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), negara China dan rakan negara Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) juga sentiasa diadakan dari semasa ke semasa. Selain itu, KKM juga sering mengambil polisi berpandukan sains serta data yang tepat. Berdasarkan laporan, WHO telah mengadakan mesyuarat dengan China bagi urusan perkongsian data terkini dan akan diteruskan bagi mengetahui maklumat, situasi dan pengurusan COVID-19 di negara tersebut secara terperinci. Tambah beliau lagi:\nBerdasarkan maklumat yang dilaporkan oleh negara China kepada WHO, varian dan subvarian yang terdapat di China juga telah dikesan di Malaysia. Oleh yang demikian, vaksin COVID-19 berkesan bagi memberikan perlindungan daripada mendapat gejala yang teruk akibat jangkitan virus ini dan sepatutnya dapat mengurangkan kemasukan pesakit ke hospital.\nJelas beliau, vaksin bivalen juga akan dibekalkan ke negara ini tidak lama lagi seiring dengan kelulusan pendaftaran bersyarat yang diberikan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah baru-baru ini. Pengumuman akan dibuat selepas bekalan vaksin tersebut diterima bersama-sama kriteria kelayakan untuk mendapatkannya.\nOrang ramai yang telah menerima dos penggalak pertama yang melebihi tempoh enam bulan dinasihatkan agar mendapatkan dos penggalak kedua serta tidak menunggu vaksin bivalen. Hal ini adalah kerana vaksin monovalen yang sedia ada masih sangat berkesan untuk mengurangkan gejala serius dan kes kematian.\nMengulas dengan lebih lanjut, peratusan pengambilan dos penggalak diharapkan akan terus meningkat, terutamanya daripada golongan yang berisiko memandangkan hanya 49.8 peratus rakyat Malaysia yang telah mendapatkan vaksin dos penggalak pertama dan 1.9 peratus sahaja yang telah mengambil dos penggalak kedua ketika ini.\nRakyat dinasihatkan agar terus menjaga kesihatan kendiri dan keluarga masing-masing serta sentiasa mematuhi nasihat kesihatan yang sering disarankan oleh KKM." "Waspada Gelombang Demam selepas Cuti Sekolah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Musim persekolahan yang baru bermula perlu diberikan perhatian oleh masyarakat, terutamanya golongan ibu bapa. Hal ini adalah kerana biasanya pada beberapa hari awal selepas persekolahan dibuka, jumlah pesakit kanak-kanak bertambah di hospital dan keadaan ini sedikit sebanyak membimbangkan.\nUntuk mengupas isu ini, pihak rancangan Selamat Pagi Malaysia Istimewa Edisi Tahun Baharu telah mengundang Pakar Pediatrik dan Neonatologi, Hospital Pakar An-Nur merangkap ahli Medical Mythbusters Malaysia, YBrs. Dr. Syed Abdul Khaliq Syed Abd Hamid bagi membincangkan isu tersebut dengan lebih lanjut.\nMenurut beliau, keadaan semasa di dalam wad kanak-kanak di hospital beliau bertugas adalah penuh dan biasanya beberapa hari selepas sekolah dibuka, jumlah pesakit akan bertambah. Sebenarnya, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk memastikan kesihatan anak-anak mereka. Antaranya termasuklah memberikan makanan yang sihat, mempunyai vitamin dan zat yang mencukupi serta mengurangkan makanan segera, makanan ringan dan makanan yang diproses.\nSelain itu, ibu bapa juga dinasihatkan agar memastikan anak mereka terdedah kepada cahaya matahari melalui aktiviti di luar rumah, mendapatkan kaedah pencegahan vaksin untuk melindungi diri anak serta mengajar anak tentang etika kesihatan yang betul. Tambah beliau:\nIbu bapa juga perlu memastikan anak-anak yang tidak sihat mendapatkan rawatan dan tidak menghantar mereka ke sekolah jika masih belum sihat sepenuhnya.\nIbu bapa perlu memahami gejala tidak sihat yang terdapat pada diri anak masing-masing. Suhu normal bagi badan manusia adalah antara 36.0 darjah Celsius hingga 37.5 darjah Celsius. Oleh itu, ibu bapa perlu memastikan suhu badan anak mereka dengan menggunakan termometer agar rawatan awal dapat diberikan. Gejala awal ini perlu diberikan perhatian supaya gejala serius tidak berlaku. Jelas beliau lagi:\nCara sentuhan dengan menggunakan tangan untuk mengetahui sama ada anak tersebut demam ataupun tidak adalah bukan cara yang efektif dan sesuai. Hal ini adalah kerana sentuhan akan memberikan bacaan yang tidak tepat. Setiap rumah sewajarnya mempunyai termometer untuk memeriksa suhu badan anak masing-masing.\nPada masa yang sama, beliau juga menjelaskan bahawa terdapat ibu bapa yang memilih untuk menghantar anak ke sekolah kerana beranggapan gejala yang ada pada anak mereka adalah tidak serius. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mengetahui dan mengenal pasti dengan lebih teliti gejala yang ada pada diri anak-anak. Sebagai contohnya, seseorang yang menghidap penyakit asma biasanya akan lebih mudah batuk dan tidak semua gejala batuk boleh berjangkit. Ulas beliau:\nSebenarnya pihak sekolah perlu lebih memudahkan proses ketidakhadiran pelajar ke sekolah agar tidak berlakunya jangkitan di sekolah.\nMengulas dengan lebih lanjut, ibu bapa perlu menyediakan ubat demam di rumah masing-masing dan memberikan dos yang betul kepada anak-anak mereka. Ubat demam tidak boleh diberikan lebih daripada empat kali sehari kepada kanak-kanak kerana boleh memberikan kesan kepada organ hati. Terang beliau:\nJika anak mempunyai gejala demam, ibu bapa boleh menggunakan kain yang dibasahkan dengan air suam dan lapkan di seluruh badan anak. Tuala tersebut tidak perlu diletakkan pada kepala kerana tindakan tersebut boleh memerangkap haba dan seterusnya boleh menyebabkan berlakunya sawan.\nDi samping itu, ibu bapa perlu memberikan ruang kepada anak untuk berehat dan sembuh sebelum hadir semula ke sekolah. Beliau juga berharap agar tidak menjadikan anak sebagai penyebar penyakit berjangkit kerana mungkin kanak-kanak tersebut hanya mengalami gejala ringan tetapi orang yang dijangkiti berkemungkinan boleh menghidap jangkitan penyakit yang lebih serius." "Singkatan, Akronim dan Inisialisme\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSingkatan, akronim dan inisialisme ialah bentuk ringkas bagi mewakili satu atau lebih perkataan. Bentuk yang ringkas itu menjadi pilihan pihak tertentu atau masyarakat umum kerana lebih mudah ditulis, disebut dan diingat oleh para pengguna bahasa.\nSingkatan berkaitan dengan bentuk ringkas bagi satu perkataan atau lebih, manakala akronim melibatkan pembentukan satu kata melalui pencantuman bahagian kata daripada dua perkataan atau lebih. Singkatan tidak bertaraf kata tetapi akronim bertaraf kata tunggal. Sila lihat contoh singkatan yang berikut:\nProfesor (Prof.), Yang Berusaha (YBrs.)\nAkronim ialah kata tunggal yang terhasil dengan menggabungkan bahagian kata daripada dua perkataan atau lebih. Setiap akronim harus mempunyai vokal pembunyi, dan akronim dianggap sebagai kata tunggal. Dalam hal ini, akronim terbahagi kepada beberapa jenis, seperti yang berikut:\nContohnya ialah ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), IPTAR (Institut Penyiaran Tun Abdul Razak) dan ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia), RAM (Random Access Memory) pada komputer, dan kad SIM (subscriber identification module).\nContohnya ialah Perhilitan (Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara), Intan (Institut Tadbiran Awam Negara) dan Mara (Majlis Amanah Rakyat).\nContohnya ialah Bernama (Berita Nasional Malaysia), Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial), pawagam (panggung wayang gambar), dan cerpen (cerita pendek).\nContohnya ialah asbut (asap kabut), hakis (habis kikis), jentolak (jentera tolak) dan jenama (jenis nama).\nContohnya ialah CD-ROM, iaitu campuran singkatan CD (compact disk) dan ROM (Read-only memory).\nInisialisme merupakan singkatan yang terhasil dengan menggabungkan huruf awal setiap kata dalam sesuatu kata majmuk. Dalam hal ini, terdapat pelbagai jenis inisialisme, seperti yang berikut:\nContohnya ialah SOP (Standard Operating Procedure), EPU (Economic Planning Unit), UM (Universiti Malaya) dan BAM (Badminton Association of Malaysia).\nContohnya ialah PWTC (Putera World Trade Centre), PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar).\nAda bentuk ringkas yang ada vokal pembunyi, tetapi mempunyai dua variasi sebutan. Jika disebut huruf demi huruf, bentuk itu ialah inisialisme. Namun demikian, jika disebut sebagai satu kata, bentuk itu ialah akronim. Contohnya ialah MAS (Malaysian Airline System).\nBiasanya akronim nama khas dan inisialisme tidak dapat ditambah imbuhan.\u00a0 Walau bagaimanapun, akronim dan inisialisme itu dapat wujud dalam kata majmuk.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\nContohnya ialah penerbangan MAS, Pasar Tani Felda, Maktab Rendah Sains Mara, dan peneroka Felda.\nContohnya ialah Setiausaha Agung PBB, pelaksanaan GST, ahli FAM, dan kajian EPU.\nSesetengah akronim nama am dapat ditambah imbuhan. Sila lihat contoh yang berikut:\ndebunga: mendebungakan, pendebungaan, terdebunga\njenama: berjenama, menjenamakan, penjenamaan\nhakis: menghakis, terhakis, hakisan, penghakisan\npurata: memutarakan, pemutaraan\nDalam hal pembentukan singkatan atau akronim, kata hubung atau gandaan dalam deretan kata yang berkenaan tidak diambil kira. Sila lihat contoh yang berikut:\nDewan Bahasa dan Pustaka: DBP\nPegawai Tadbir dan Diplomatik: PTD\nJabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Perhilitan\nPertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB\nAda akronim atau inisialisme yang dapat digandingkan dengan kata ganti nama diri orang ketiga -nya. Sila lihat contoh yang berikut:" "Pendigitalan Sistem Kesihatan Memperkasakan Perkhidmatan Awam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 dan Pelan Strategik Pendigitalan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 2021\u20132025 yang menggariskan pengukuhan sistem kesihatan awam berteraskan digital membuktikan bahawa pentingnya pendigitalan sistem kesihatan dalam memperkasakan perkhidmatan awam.\nMenurut Pegawai Perubatan, Bahagian Kesihatan Awam Digital (INTERIM) KKM, YBrs. Dr. Muhammad Shameer Haqeem Omar dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia semalam, pelbagai manfaat yang dapat diperoleh apabila menggunakan sistem digital ini, antaranya termasuklah menjimatkan masa dan kos. Hal ini dikatakan demikian kerana kakitangan kesihatan yang bekerja di lapangan mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan laporan, sama ada laporan klinikal ataupun bukan klinikal.\nBeliau berkata, \u201cTerdapat kajian yang melaporkan bahawa lebih kurang 30 peratus daripada masa diambil oleh setiap kakitangan hospital ataupun klinik kesihatan semata-mata untuk membuat laporan. Oleh hal yang demikian, dengan adanya penggunaan sistem digital ini, laporan data pesakit itu dapat diperoleh dengan cepat, efisien, mengurangkan masa kakitangan untuk membuat laporan pesakit sekali gus dapat memberikan fokus terhadap rawatan dan penjagaan pesakit.\u201d\nTambah beliau, sistem ini juga membantu pengguna untuk membuat tempahan janji temu dimana-mana sahaja tanpa perlu pergi ke klinik atau hospital yang berdekatan.\nPendigitalan sistem kesihatan ini sangat memberikan kesan positif yang banyak, terutamanya semasa pandemik COVID-19 seperti penggunaan aplikasi MySejahtera yang membolehkan masyarakat menggunakan sistem janji temu bagi membolehkan orang awam mendapatkan vaksin COVID-19. Sebagai kesannya, KKM dapat memvaksin sebanyak 90 peratus populasi Malaysia dalam tempoh empat bulan, melebihi sasaran yang ditetapkan oleh KKM.\nSelain itu, aplikasi MySejahtera mampu membantu mengesan individu yang menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19. Hal ini sekali gus dapat mengurangkan beban kakitangan kesihatan di lapangan untuk mengesan pesakit yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19.\nJelas beliau, KKM sangat komited dengan penggunaan sistem digital kesihatan ini. Hal ini dapat dibuktikan dengan usaha KKM dalam mendigitalisasikan beberapa modul kesihatan awam seperti modul saringan kesihatan, modul program imunisasi kebangsaan dan modul janji temu.\nModul janji temu itu berasal daripada aplikasi COVID-19 dan dikembangkan kepada aplikasi kesihatan awam. Sistem ini memberikan laluan kepada orang awam untuk membuat tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera yang membolehkan pengguna memilih beberapa perkhidmatan fasiliti berdekatan mengikut tarikh dan masa mereka. Setiap perkhidmatan yang ditawarkan oleh KKM menerusi sistem digital kesihatan ini mendapat sambutan dan penerimaan yang memberangsangkan daripada orang awam.\nDalam program berkenaan juga, beliau menyatakan bahawa aplikasi MySejahtera merupakan sebuah aplikasi yang mesra pengguna. Aplikasi ini memberikan kemudahan kepada para pengguna termasuklah golongan berisiko seperti warga emas untuk membuat tempahan janji temu dengan cepat dan mudah.\nDisebabkan oleh pandemik COVID-19 yang lalu, beliau percaya bahawa warga emas juga sudah menggunakan telefon pintar pada masa ini dan sudah biasa dengan penggunaan aplikasi MySejahtera serta mengetahui cara untuk menggunakannya.\n\u201cNamun begitu, bagi warga emas yang tidak mengetahui untuk mengaplikasikan sistem ini, KKM telah mengambil inisiatif dengan memasukkan fungsi tanggungan dalam aplikasi MySejahtera bagi membolehkan anak-anak warga emas ini menempah sesi janji temu untuk ibu bapa mereka\u201c, ulasnya lagi.\nSeiring dengan galakan pengambilan dos penggalak kedua oleh Menteri Kesihatan, YB Dr. Zaliha Mustafa, aplikasi MySejahtera juga mempunyai fungsi untuk mana-mana pengguna yang ingin menempah slot janji temu bagi mendapatkan dos penggalak COVID-19 tersebut.\nBeliau menerangkan bahawa KKM amat komited dalam usaha mendigitalisasikan keseluruhan proses manual yang terdapat di hospital kerajaan dan mana-mana fasiliti kerajaan. Melalui modul kesihatan awam yang telah digitalisasikan didapati bahawa hampir keseluruhan hospital kerajaan, klinik kesihatan dan klinik desa telah menggunakan sistem digital berkenaan.\n\u201cKKM sangat berbesar hati untuk melihat rakyat Malaysia menggunakan sistem digital ini dan perkhidmatan yang ditawarkan. Diharapkan agar sistem ini dapat digunakan sampai bila-bila dan dimanfaatkan oleh semua pengguna bagi memudahkan urusan di klinik ataupun di hospital,\u201d katanya sebelum mengakhiri sesi temu bual tersebut." "Elakkan Penggunaan Produk Kosmetik Beracun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk Flashhskinzz Night Cream dan Rissa Skin Moisturiser kerana telah dikenal pasti mengandungi racun berjadual.\nLanjutan daripada itu, Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM telah membatalkan notifikasi produk kosmetik tersebut dan tidak dibenarkan untuk dijual di Malaysia.\nProduk yang mengandungi Hidrokuinon, Tretinoin dan Betamethasone 17-valerate ialah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah. Ubat ini hanya boleh digunakan dengan nasihat daripada ahli profesional kesihatan. Sekiranya produk ini digunakan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan, pengguna berisiko tinggi untuk mendapat kesan sampingan yang negatif.\nMenurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Seri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan media, Hidrokuinon boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu dengan produk tersebut, mengakibatkan ketidakselesaan, warna kulit mengalami perubahan yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, menghalang proses pigmentasi dan meningkatkan risiko kanser kulit.\nSelain itu, bahagian kulit juga boleh menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif terhadap cahaya matahari jika Tretinoin digunakan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan.\nPenyalahgunaan Betamethasone 17-valerate boleh menyebabkan kulit muka pengguna menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, berlaku perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh memudaratkan kesihatan.\nPenjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta kerana telah melanggar Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.\nTambah beliau lagi, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25 000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama. Jika melakukan kesalahan yang berikutnya, individu tersebut akan didenda tidak melebihi RM50 000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi syarikat yang melakukan kesalahan pula boleh dikenakan denda hingga RM50 000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100 000 untuk kesalahan yang seterusnya.\nOleh yang demikian, orang awam yang menggunakan produk ini diharapkan dapat menghentikan penggunaannya serta-merta. Jika pengguna produk mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers, pengguna tersebut perlu mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan dengan segera.\nStatus notifikasi sesuatu produk kosmetik boleh disemak dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA di pautan www.npra.gov.my atau melalui aplikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store." "UMT Terajui Penyelidikan Perubahan Iklim terhadap Organisma Akuatik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerubahan iklim merujuk perubahan jangka masa panjang terhadap iklim yang berlaku selama beberapa dekad, berabad-abad atau lebih lama disebabkan oleh peningkatan gas rumah hijau di atmosfera bumi yang semakin berleluasa dan impak daripada pembakaran bahan api fosil seperti arang batu, minyak dan gas asli.\nSecara tidak langsung, situasi ini mengakibatkan kenaikan paras laut, perubahan pola ribut, perubahan arus laut, perubahan hujan, peleburan ais salji, haba yang melampau, kebakaran dan kemarau. Impak ini dijangkakan berterusan dan seterusnya akan mempengaruhi kesihatan manusia, infrastruktur, hutan, pertanian, bekalan air tawar, pantai dan sistem laut, malah kecukupan rantaian makanan turut terjejas.\nRentetan daripada perubahan iklim ini, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyahut cabaran dalam mengetuai penyelidikan berimpak tinggi berkaitan dengan perubahan iklim terhadap organisma akuatik. Penyelidikan ini bersesuaian dengan penubuhan Makmal Perubahan Iklim dan Adaptasi (CCA) yang lengkap dengan teknologi termaju seumpamanya di Malaysia serta memberikan ruang kepada penyelidik UMT untuk terus memberikan fokus kepada penyelidikan berimpak tinggi.\nSelain itu, sebanyak 11 buah makmal berteknologi tinggi yang terdapat di dalam bangunan Institut Bioteknologi Marin (IMB) turut memfokuskan kepada bidang kajian bioteknologi. Menerusi makmal ini, penyelidik UMT menjalankan penyelidikan berkaitan dengan spesies akuatik di Malaysia, membuat langkah penyesuaian iklim, mempromosikan pembangunan hasil saintifik dan membina pangkalan data untuk manfaat negara.\nMakmal CCA yang diketuai oleh Dr. Mohamad Nor Azra Md Adib kini sedang giat menjalankan kajian tentang kesan perubahan iklim yang tertumpu kepada perubahan suhu persekitaran antara haiwan akuatik yang berasal dari Malaysia seperti udang galah dengan haiwan invasif, misalnya udang kara air tawar dan udang krai.\nPenyelidikan ini turut tertumpu kepada kajian kesan perubahan suhu persekitaran terhadap haiwan ternakan yang bernilai tinggi, spesies perikanan dan akuakultur dunia, iaitu udang kara air masin (genus Panulirus). Induk bertelur dan juvenil udang kara adalah peringkat hidup udang kara yang dipilih untuk penyelidikan ini. Kesan perubahan iklim seperti suhu di lautan dijangkakan memberikan kesan kepada haiwan tersebut.\nKepakaran para penyelidik UMT dan kemampuan makmal CCA tidak dapat disangkal lagi apabila UMT dipertanggungjawabkan untuk mengetuai institut di Malaysia bagi berkolaborasi bersama-sama pakar di Department of Biology, University of Oxford dengan dana yang disumbangkan oleh Natural Environment Research Council. Kerjasama ini dibuat untuk melakukan penyelidikan antarabangsa yang tertumpu kepada tekanan perubahan iklim dan pencemaran daripada kumbahan terhadap organisma akuatik di pesisir pantai.\nProjek seumpamanya adalah projek yang pertama di dunia dilaksanakan secara global. Projek ini melibatkan 20 buah negara yang terpilih dan mempunyai pesisir pantai seperti Peru, Kanada (University of Manitoba), Argentina, Scotland, King Edward Point, Greenland, Iceland (Sudurnes Science and Learning Center), Faroe Islands, United Kingdom (University of Oxford), Portugal, Croatia, India, Thailand, Vietnam, Brunei, Hong Kong dan Malaysia. Penyelidikan antarabangsa ini tertumpu kepada tekanan perubahan iklim terhadap organisma akuatik di pesisir pantai yang dikenali sebagai Project Hot Mess.\nProject Hot Mess ini adalah untuk melihat kesan suhu persekitaran dan pencemaran kepada komuniti di kawasan air pasang surut\u00c2\u00a0 dengan menggunakan binaan plat khas yang telah diubah suai dan ditambah struktur epoksi tumbuhan bersama-sama data pengukur perubahan suhu. Hasil dapatan penyelidikan saintifik yang bernilai tinggi ini kemudiannya akan memberikan manfaat kepada masyarakat dan negara dalam menangani isu perubahan iklim yang semakin mengancam global.\nSementara itu, dengan adanya makmal CCA ini, UMT berhasrat untuk menerajui penyelidikan berkaitan dengan perubahan iklim di Malaysia hingga mencapai taraf Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HiCoE) pada masa akan datang dan seterusnya menjadikan UMT sebagai satu-satunya universiti di Malaysia yang akan mempunyai tiga buah HiCoE berfokus dan bercita-cita ke arah status universiti penyelidikan.\nMakmal yang diasaskan oleh Naib Canselor UMT, YBrs. Profesor Dato` Dr. Mazlan Abd Ghaffar ini telah mendapat sokongan dana melalui Geran Penyelidikan Jangka Panjang berjumlah RM3.56 juta daripada Kementerian Pengajian Tinggi yang lebih memfokuskan ke arah penyelidikan adaptasi organisma akuatik terhadap perubahan iklim." "Galak Wanita Ceburi Bidang STEM dan Aeroangkasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Berdasarkan data daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), kurang daripada 30 peratus penyelidik di seluruh dunia adalah wanita dan hanya 30 peratus pelajar perempuan yang memilih bidang berkaitan dengan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) pada peringkat pengajian tinggi.\nSehubungan dengan itu, pihak rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) telah mengundang Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Sains Malaysia (USM), YBrs. Dr. Norilmi Amilia Ismail bagi berkongsikan topik \u201cGalak Wanita Ceburi Bidang STEM dan Aeroangkasa\u201c.\nMenurut beliau, jika diperhatikan bilangan pelajar perempuan yang belajar bidang STEM pada peringkat sekolah adalah lebih banyak. Bahkan, pelajar perempuan yang mengambil jurusan sains pada peringkat pengajian tinggi juga banyak, namun jumlahnya kurang dalam bidang tertentu seperti bidang kejuruteraan.\nBeliau menyatakan bahawa hal ini terjadi berikutan beberapa persepsi negatif berkaitan dengan bidang sains itu sendiri. Antaranya termasuklah anggapan bahawa bidang sains ialah bidang yang sukar bagi mereka untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang serta peluang pekerjaan dalam bidang tersebut yang masih kurang di negara ini. Tambah beliau:\nSebenarnya, banyak wanita yang meminati bidang STEM tetapi masalahnya di sini adalah untuk memastikan golongan tersebut masih berada dalam bidang ini setelah tamat pengajian masing-masing.\nJelas beliau, pihak majikan wajar memberikan ruang dan sokongan kepada golongan wanita untuk bekerja dalam bidang ini. Pemikiran majikan yang teragak-agak untuk mengambil golongan wanita untuk bekerja kerana memikirkan mereka akan bercuti lama jika bersalin dan faktor lain adalah antara punca berlakunya keciciran golongan ini dalam bidang STEM setelah tamat pengajian.\n\u201cBagi individu yang berminat dengan bidang aeroangkasa pula, mereka perlu mengetahui definisi bidang tersebut dan mencari maklumat sebanyak yang mungkin berkaitan dengannya,\u201d ujarnya.\nMenurutnya lagi, bidang angkasa masih kurang di Malaysia kerana industri ini tidak besar dan baru sahaja hendak membangun. Oleh sebab itu, peluang pekerjaan dalam bidang ini pada masa sekarang amat terhad.\nKerajaan dan industri perlu memainkan peranan dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang ini buat para graduan. Saya juga sebagai pemilik syarikat SpaceIn telah membuka peluang pekerjaan kepada para graduan untuk menjadikan mereka sebagai sebahagian daripada pekerja.\nDalam sesi temu bual itu juga, beliau memaklumkan bahawa program Space4Women yang dilaksanakan oleh Projek Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Hal Ehwal Angkasa (UNOOSA) adalah untuk berkongsikan pengalaman dan memberikan tunjuk ajar kepada individu yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang industri angkasa. Yang menariknya, program ini terbuka untuk semua golongan wanita tanpa mengira usia. Sebanyak 100 orang pembimbing telah terpilih dalam program ini termasuklah beliau.\nMenyentuh mengenai perkembangan industri angkasa di Malaysia, beliau menyatakan bahawa industri dalam bidang ini semakin berkembang. Hal ini dibuktikan dengan wujudnya beberapa buah syarikat pemula dalam industri ini.\n\u201cBidang aeroangkasa sememangnya memberikan kesan yang baik kepada ekonomi dan menjana peluang pekerjaan kepada masyarakat sebagaimana misi kerajaan dalam Program Penerokaan Angkasa Lepas Malaysia 2030 (Malaysia Space-X 2030),\u201c ujarnya menutup sesi perbincangan tersebut." "FSK, UKM dan DBP: Usaha Mempergiat Penulisan Karya Sains\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengadakan kunjungan hormat ke Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi membincangkan peluang kerjasama dalam penerbitan rencana dan buku pada petang semalam. Hal ini selaras dengan hasrat DBP untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi.\nMenerusi kunjungan tersebut, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, FSK, UKM, Profesor Dr. Nor Fadilah Rajab, mewakili Dekan FSK menyatakan bahawa pihak FSK mengalu-alukan kedatangan delegasi DBP ke kampus yang menawarkan pelbagai program dalam bidang sains kesihatan.\n\u201cKunjungan DBP amatlah bermakna dan selari dengan hasrat kami untuk menjalinkan kerjasama dengan penerbit berwibawa negara dalam aspek penulisan dan penerbitan, khusus dalam bidang sains,\u201c ujarnya. Tambah beliau lagi:\nKerjasama penerbitan ini diperlukan bagi memenuhi keperluan penarafan bintang dalam Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) II bagi UKM sebagai sebuah universiti penyelidikan negara.\nDelegasi DBP yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat berkata bahawa DBP membuka selebar-lebar peluang untuk kerjasama strategik ini bagi membantu ahli akademik FSK, UKM menerbitkan rencana dan manuskrip yang bermutu tinggi.\n\u201cSebagai institusi akademik yang mempunyai kepakaran antara yang terbaik di Malaysia, UKM pastinya mempunyai banyak hasil penyelidikan dan ilmu baharu yang dijana untuk disebarkan kepada masyarakat,\u201d jelasnya.\nKami di DBP amat berbesar hati menerima dan menerbitkan hasil penulisan daripada ahli akademik dalam bidang masing-masing, sama ada dalam bentuk rencana atau buku untuk disebarluaskan bagi membina bangsa berilmu, berwawasan dan bertamadun.\nMenurut Tuan Haji Razali Che Mat lagi, bagi penulisan rencana, DBP mempunyai dua medium penerbitan, iaitu penerbitan bercetak yang diterbitkan pada setiap bulan dan penerbitan digital melalui portal JendelaDBP.\n\u201cPelantar digital JendelaDBP memberikan lebih banyak ruang dan peluang kepada penulis untuk menyumbangkan karya kepada DBP. Sebaran ilmu juga lebih meluas dan menyeluruh melalui platform ini,\u201d jelasnya lagi.\nSementara itu, Profesor Dr. Siti Balkis Budin, Pensyarah Perubatan di Pusat Kajian Diagnostik, Teraputik dan Penyiasatan (CODTIS) mencadangkan agar DBP mempertimbangkan penerbitan jurnal sains kesihatan dalam bahasa Melayu.\n\u201cPada masa ini, Malaysia hanya mempunyai satu jurnal penyelidikan dalam bidang sains kesihatan yang diterbitkan dalam bahasa Melayu, iaitu Jurnal Sains Kesihatan Malaysia. Memandangkan DBP mempunyai kepakaran dalam penerbitan jurnal dalam bahasa Melayu, kami mengusulkan agar DBP menerbitkan jurnal ilmiah khusus dalam bidang sains kesihatan,\u201c ujarnya.\nTambah Profesor Dr. Siti Balkis Budin, penerbitan jurnal berkenaan akan memberikan manfaat yang besar kepada penyelidik di seluruh negara, menggalakkan lebih banyak penerbitan dihasilkan dalam bahasa Melayu dan sekali gus membantu dalam perkembangan dan perkongsian ilmu dalam bahasa Melayu, terutamanya dalam bidang sains dan teknologi.\nSesi perbincangan yang berlangsung selama dua jam itu turut berkongsikan maklumat tentang penerbitan majalah bercetak dan digital, penerbitan buku, isu hak cipta, honorarium, penerbitan jurnal dan penganjuran bengkel penulisan.\nTurut hadir dalam perbincangan ini ialah Timbalan Dekan Jaringan, Industri, Alumni dan Masyarakat, FSK, Profesor. Madya Dr. Haliza Abdul Mutalib; Pengerusi Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-Care), Profesor Madya Dr. Devinder Kaur a/p Ajit Singh; Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar; wakil pusat kajian, FSK; pensyarah dan pegawai penyelidik, FSK, UKM;\u00a0 dan beberapa orang editor Jabatan Penerbitan, DBP." "Aktiviti Pemuliharaan Bakau Bantu Melestarikan Alam Sekitar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nYan \u2013 Sebanyak 106 orang peserta telah menyertai program Pemuliharaan dan Kelestarian Bakau yang dianjurkan oleh Kelas Subjek GMTJT3113 Pentadbiran Alam Sekitar dengan kerjasama Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Universiti Utara Malaysia (UUM) di Yan, Kedah baru-baru ini.\nDekan SOG UUM, YBrs. Profesor Madya Dr. Halimah Abdul Manaf berkata,\nProjek pembelajaran khidmat bakti (SULAM) bagi semester A221 ini ialah program khidmat masyarakat yang melibatkan pensyarah, mahasiswa dan pelajar dari Sekolah Kebangsaan Sungai Limau, Sekolah Menengah Kebangsaan Dulang, Jabatan Perhutanan Kedah dan Pejabat Daerah Yan.\nTambah beliau, program berimpak tinggi yang dijalankan ini bertujuan untuk membantu komuniti di sekitar daerah ini bagi meneruskan pemuliharaan dan menjamin kelestarian bakau pada masa akan datang.\nAntara objektif program ini dijalankan adalah untuk mengekalkan kelestarian bakau, memberikan kesedaran kepada penduduk tentang kepentingan bakau, membuka ruang kerjasama antara pusat pengajian dengan komuniti, jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan.\n\u201cPenyertaan dan pelibatan semua pihak dalam program ini dilihat menunjukkan jalinan hubungan yang baik dengan universiti, terutamanya dalam aspek pelaksanaan aktiviti,\u201d ujarnya lagi.\nPelaksanaan aktiviti seperti ini diharapkan dapat mengembangkan dan memperkukuh pengajian dan pengkajian bidang pengurusan awam dan pembangunan yang dikendalikan oleh SOG UUM.\nPada masa yang sama, YBrs. Profesor Madya Dr. Halimah Abdul Manaf turut bersama-sama mendengar taklimat tentang penanaman pokok bakau dan melakukan aktiviti menanam pokok bakau di sekitar kawasan berkenaan." "KKM Perkenal Inisiatif Label Ubat Mesra OKU Penglihatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Inisiatif Label Ubat Mesra Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan telah diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membantu pesakit OKU penglihatan dalam urusan pengambilan ubat.\nDalam satu kenyataan media KKM yang dikeluarkan semalam, Menteri Kesihatan, YB Dr. Zaliha Mustafa menyatakan bahawa label ubat yang diberikan kepada pesakit OKU penglihatan mempunyai tulisan Braille untuk menjelaskan cara pengambilan atau dos ubat. Sebagai contohnya, label tersebut merujuk pengambilan dua biji ubat dan diambil sebanyak tiga kali sehari.\nSelain itu, label ubat tersebut juga mempunyai indikasi ubat yang menerangkan kegunaan ubat seperti demam, batuk atau selesema. Tambah beliau:\nInisiatif peluasan kepada Program Kenali Ubat Anda bagi menyokong Malaysian Patient Safety Goals 2.0 di bawah Medication Safety: Medication Without Harm ini akan dilaksanakan di 250 buah fasiliti kesihatan KKM terpilih di seluruh negara.\nUntuk makluman, Malaysia adalah antara negara yang terawal di Asia yang melaksanakan inisiatif berkenaan. Dalam konteks ini, KKM menjangkakan sebanyak 55 000 orang OKU penglihatan bakal menerima manfaat daripada pelaksanaan inisiatif tersebut.\n\u201cBagi memastikan OKU penglihatan mendapat hak untuk menerima maklumat yang tepat dalam urusan pengambilan ubat secara selamat, pihak kerajaan telah menunjukkan kesungguhan dan keprihatinannya menerusi pelaksanaan inisiatif Label Ubat Mesra OKU Penglihatan. Pada masa yang sama, inisiatif ini dapat meningkatkan imej Malaysia di persada antarabangsa selaras dengan Konvensyen mengenai Hak OKU dan Akta Orang Kurang Upaya 2008,\u201d ujarnya.\nUntuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan inisiatif Label Ubat Mesra OKU Penglihatan, boleh layari Facebook rasmi KKM." "Mengenali Keperibadian Introvert\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSejak dari kecil, orang ramai sering diperdengarkan bahawa orang yang pandai bergaul dan mahir berinteraksi ialah golongan yang lebih berjaya pada masa hadapan. Sementara itu, bagi mereka yang pemalu dan pendiam, mereka berada dalam golongan yang mundur dan tidak maju.\nPada kebiasaannya, orang yang pemalu atau tidak pandai bersosial sering dilabel sebagai introvert. Introvert juga sering dilihat sebagai golongan yang antisosial. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, introvert ialah orang yang suka memendam rasa, menumpukan perhatian pada dirinya sendiri dan tidak suka bergaul dalam masyarakat atau dunia luar.\nIntrovert juga sering disalah faham sebagai rasa malu, kemurungan, kekasaran, atau kegelisahan. Introvert sering menjadi sasaran kepada banyak tanggapan yang salah dan stereotaip yang hampir tidak mempunyai kaitan dengan konsep introvert itu sendiri.\nBerdasarkan psikologi, seseorang yang mempunyai ciri introvert lebih fokus kepada diri sendiri dalam soal pemikiran dan perasaan berbanding dengan berkongsinya dengan orang lain atau dunia luar. Seseorang yang introvert lazimnya lebih cenderung berdiam diri dan hanya fokus pada diri mereka sendiri. Mereka juga sering dipersalahkan kerana mereka dianggap tidak suka berkawan dengan orang di sekitarnya.\nOleh sebab itu, individu introvert juga dianggap sombong kerana pendiam dan tidak ingin bergaul dengan orang lain. Persepsi salah ini perlu dihilangkan daripada norma masyarakat kita pada hari ini. Mereka juga mempunyai harapan, cita-cita yang tinggi dan mempunyai keinginan seperti orang di sekeliling mereka.\nMengapakah golongan introvert sering dipersalahkan? Terdapat pelbagai jawapan bagi persoalan tersebut. Sifat dan perwatakan mereka yang pendiam sebenarnya yang menimbulkan salah faham masyarakat sekeliling yang tidak mengenali golongan ini. Mereka bukan tidak mahu bergaul dan menikmati kehangatan persahabatan, namun mereka amat berhati-hati untuk menjalinkan sesuatu hubungan. Kualiti menjadi ciri penting dan pilihan bagi mereka untuk berada dalam masyarakat.\nIndividu yang mempunyai personaliti introvert juga sering dikatakan tidak mempunyai kemahiran dalam komunikasi. Namun begitu, di sebalik kelemahan inilah terbitnya keistimewaan yang dimiliki oleh golongan ini. Individu introvert ialah pendengar yang setia. Mereka mampu mendengar dengan baik, memahami dan seterusnya memberikan pandangan yang teliti terhadap sesuatu isu yang dikongsikan.\nSungguhpun begitu, dalam diamnya introvert, mereka juga sangat berkemahiran dalam memerhatikan sesuatu perkara. Walaupun mereka ini sering kali dianggap menyendiri, namun ketahuilah bahawa mereka sebenarnya sedang menyerap maklumat yang disampaikan oleh orang sekeliling mereka.\nSebagai pemerhati yang baik, mereka juga mempunyai daya fokus yang tinggi.\u00a0Individu introvert biasanya peka terhadap persekitaran mereka. Mereka juga sangat berhati-hati dan teliti sebelum melaksanakan sesuatu tindakan.\nIndividu introvert\u00a0 ialah orang yang amat menghargai sesuatu persahabatan atau perhubungan. Disebabkan oleh kurangnya bilangan individu dalam persekitaran sosial mereka, hal tersebut menyebabkan mereka sangat menghargai orang yang setia berada di sisi mereka.\nIndividu introvert juga mempunyai tahap empati yang tinggi untuk memahami perasaan orang lain. Walaupun mereka mempunyai karektor yang tertutup, individu introvert lebih kerap memberikan perhatian pada rakan berbanding individu ekstrovert yang memiliki ramai rakan tetapi hubungannya secara permukaan sahaja.\nMenjadi introvert bukanlah suatu kesalahan. Hal ini dikatakan demikian kerana personaliti ini sangat menghormati ruang peribadi diri sendiri dan orang lain. Secara umumnya, introvert sangat menjaga dan menghormati persekitaran mereka. Lantaran itu, mereka sendiri mahu ruang peribadi mereka dihormati oleh orang sekeliling.\nDengan menjaga jarak dan ruang perhubungan sosial ini, golongan introvert sering kali dilihat sebagai rakan yang selamat untuk didekati kerana kita yakin dengan personalitinya yang menghormati batas. Individu dengan personaliti introvert juga akan lebih banyak berfikir dahulu sebelum mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu tindakan.\nBersendirian itu ialah biasanya menjadi pilihan bagi individu yang mempunyai personaliti introvert.\u00a0Oleh sebab itu, pilihan mereka untuk bersendirian dan melakukan pelbagai tugasan seorang diri secara tidak langsung telah membina tahap berdikari mereka tanpa bantuan orang sekeliling. Hal ini adalah berbeza dengan individu esktrovert yang memilih untuk mempunyai banyak rakan dan mementingkan kerjasama antara kumpulan.\nSungguhpun begitu, hal ini tidak bermaksud introvert langsung tidak mahu berkerja atau melakukan tugasan dalam kumpulan. Sekiranya mereka mempunyai pilihan untuk melakukan sesuatu secara berseorangan, mereka lebih selesa.\nIntrovert juga lebih puas dan rasa diperkasakan apabila dapat menyelesaikan tugasan yang sukar dilakukan secara bersendirian dengan kemampuan diri mereka sendiri. Mereka berasa lebih selesa memfokuskan pada pemikiran dan idea dalaman mereka, berbanding dengan segala yang berlaku secara luaran.\nSecara kesimpulannya, personaliti seseorang individu terbina melalui pelbagai faktor yang mempengaruhi seperti latar belakang biologi, psikologi, persekitaran sosial dan cara didikan. Individu introvert haruslah mengambil segala ciri dan keistimewaan mereka yang unik itu sebagai kekuatan peribadi mereka sendiri. Orang ramai juga perlu lebih bersifat terbuka dan menghormati golongan yang mempunyai identiti mereka yang tersendiri ini." "KKM Bersedia Hadapi Gelombang COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Hingga 8 Januari 2023, sebanyak 84.3 peratus rakyat Malaysia telah mendapatkan dos vaksinasi primer yang lengkap. Walau bagaimanapun, bagi pengambilan dos penggalak pertama, hanya 50 peratus sahaja individu yang mendapatkannya, manakala hanya dua peratus rakyat di negara ini yang mengambil dos penggalak kedua.\nDemikian kupasan tentang status liputan imunisasi di Malaysia oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Sektor Pengurusan Bencana, Wabak, Krisis dan Kecemasan, Cawangan Kesiapsiagaan, Survelan dan Respons, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), YBrs. Dr. Hazlina Yahaya dalam sesi temu bual menerusi siaran radio Nasional FM, semalam.\nSusulan daripada itu, KKM ingin menggesa kepada semua individu yang layak mengambil vaksin dan belum melengkapkan dos vaksinasi primer disarankan untuk mendapatkan vaksin tersebut.\nDi Malaysia, kanak-kanak yang berumur lima tahun ke atas sudah layak untuk mengambil vaksin. Remaja yang berumur 12 tahun hingga 17 tahun boleh mendapatkan dos penggalak pertama sekurang-kurangnya selepas enam bulan pengambilan dos vaksinasi primer, manakala individu yang berumur 18 tahun ke atas pula boleh mengambil dos penggalak pertama selepas tiga bulan pengambilan dos vaksinasi primer.\n\u201cSemua individu yang berumur 18 tahun ke atas termasuklah golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas, pesakit kencing manis dan pesakit penyakit kronik lain, ibu hamil dan golongan yang terlantar di hospital disarankan untuk mengambil dos penggalak kedua,\u201c jelasnya.\nDalam sesi temu bual itu juga, beliau menyatakan bahawa orang ramai perlu mengemas kini aplikasi MySejahtera dalam telefon pintar masing-masing bagi memudahkan proses menempah janji temu untuk mendapatkan vaksin di klinik kesihatan atau hospital berdekatan.\nPada masa yang sama, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) swasta juga telah dibuka bagi membolehkan orang ramai mendapatkan dos penggalak. Orang ramai boleh membuka laman sesawang ProtectHealth untuk melihat senarai PPV swasta yang menyediakan perkhidmatan tersebut.\nMenjawab persoalan sebab utama untuk mendapatkan dos penggalak, beliau menerangkan bahawa seperti kebanyakan vaksin lain, ketahanan atau imuniti yang terbentuk selepas mengambil vaksin COVID-19 akan menurun selepas tempoh tertentu, biasanya dalam tempoh empat bulan hingga enam bulan. Hal ini bermakna, risiko untuk mendapat jangkitan atau gejala teruk COVID-19 akan meningkat semula selepas tempoh ini.\nSejak April 2022, masyarakat telah hidup dengan vaksin kerana sudah beralih kepada fasa endemik dan boleh terdedah kepada virus ini pada bila-bila masa sahaja. Oleh yang demikian, bagi mengelakkan jangkitan yang serius dan seterusnya mengurangkan risiko kematian, ambillah dos penggalak mengikut jadual yang telah ditetapkan.\nMengulas dengan lebih lanjut, beliau juga memaklumkan bahawa KKM belum lagi mengesyorkan pengambilan dos penggalak ketiga dan seterusnya buat masa ini.\n\u201cSebelum keputusan pemberian dos tambahan vaksin dibuat, kumpulan kerja teknikal KKM akan mengkaji perkara ini dengan lebih teliti terlebih dahulu termasuklah membuat perbandingan untuk melihat manfaat dan risiko yang akan dihadapi,\u201c hurainya lagi.\nPada masa yang sama, beliau juga menjelaskan isu berkenaan kemunculan subvarian BA.5.2 dan BF.7 di China. Menurutnya, subvarian BA.5.2 dan BF.7 juga sebenarnya telah ditemukan di Malaysia. Subvarian baharu yang muncul daripada varian Omicron setakat ini biasanya mempunyai kebolehjangkitan yang tinggi tetapi kurang menyebabkan penyakit yang teruk berbanding dengan varian Delta yang menyerang negara ini pada tahun 2021.\nJelas beliau lagi, KKM mengesyorkan agar rakyat Malaysia yang ingin ke luar negara, sama ada bagi tujuan melancong atau bekerja hendaklah mengambil vaksin COVID-19 yang lengkap bersama-sama dos penggalak. Keperluan vaksinasi untuk memasuki negara luar bergantung pada negara berkenaan. Terdapat negara yang mewajibkan vaksinasi lengkap dan menerima jenis vaksin tertentu sahaja. Oleh itu, masyarakat perlu mengambil maklum tentang hal ini.\nKKM juga menasihatkan orang ramai agar melakukan ujian COVID-19 terlebih dahulu sekiranya bergejala. Jika didapati positif COVID-19, tangguhkan perjalanan ke luar negara dan melaporkan hal ini dalam aplikasi MySejahtera, mengasingkan diri daripada orang lain, memaklumkan kepada saudara-mara dan orang terdekat serta mendapatkan rawatan jika gejala semakin teruk.\n\u201cDalam masa 14 hari selepas pulang dari luar negara, sesiapa yang mengalami gejala COVID-19 seperti demam, batuk atau sesak nafas perlulah mendapatkan nasihat perubatan atau rawatan dengan segera di klinik atau hospital yang berhampiran,\u201d ujarnya sebelum mengakhiri sesi temu bual tersebut." "Bahaya Keracunan Racun Serangga Organofosfat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nOrganofosfat ialah bahan kimia yang digunakan secara meluas sebagai racun serangga perosak dalam bidang pertanian dan di rumah. Antara jenis racun organofosfat yang sering digunakan termasuklah Malathion, Diazinon dan Chlorpyrifos.\nPenggunaan racun serangga ialah satu daripada usaha bagi meningkatkan hasil pertanian dan mengurangkan kerugian akibat serangan serangga perosak. Walau bagaimanapun, Pertubuhan kesihatan Sedunia menganggarkan sebanyak 200 ribu kematian dilaporkan pada setahun akibat keracunan organofosfat yang disengajakan di seluruh dunia.\nKeracunan organofosfat boleh berlaku apabila seseorang terdedah kepada racun melalui tiga cara, iaitu melalui pernafasan apabila seseorang itu terhidu semburan racun perosak; melalui mulut apabila makanan atau minuman yang diambil telah dicemari dengan racun; dan melalui kulit.\nGejala keracunan organofosfat dapat dilihat dalam tempoh enam jam hingga 12 jam selepas terdedah kepada racun ini. Antara gejala awal keracunan termasuklah batuk, masalah pernafasan yang teruk, kadar degupan jantung yang perlahan, tekanan darah rendah, hidung berair, loya, muntah, sawan, penglihatan menjadi kabur serta penghasilan peluh dan air liur yang berlebihan. Keracunan organofosfat yang tidak dirawat dengan segera boleh menyebabkan kerosakan kekal fungsi ginjal, hati, paru-paru, saraf serta boleh mengakibatkan kematian.\nRawatan Keracunan Organofosfat\nApabila kulit terkena racun serangga organofosfat, cuci bahagian badan yang terlibat dengan sabun dan air yang banyak. Saeseorang itu juga perlu mandi dan menukar pakaian yang bersih.\nSekiranya racun terkena pada mata, pastikan mata dicuci dengan air yang mengalir. Bagi kes tertelan racun organofosfat pula, orang awam dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan dengan secepat mungkin di hospital yang berdekatan.\nMatlamat pertama rawatan kecemasan adalah untuk memastikan pesakit dalam keadaan stabil. Petugas kesihatan akan memberikan perhatian kepada pernafasan pesakit bagi mendapatkan kembali pola pernafasan yang normal. Bekalan oksigen tambahan akan diberikan bagi menjamin paras oksigen berada pada tahap yang optimum.\nBagi kes keracunan yang serius pula, antidot diperlukan untuk menyelamatkan nyawa pesakit. Terdapat tiga jenis antidot yang lazimnya digunakan untuk keracunan organofosfat, iaitu Atropine, Pralidoxime dan Diazepam.\nAtropine digunakan untuk mengurangkan pengeluaran air liur yang berlebihan dan mengeringkan cecair dalam saluran pernafasan. Ubat ini juga melegakan gejala saluran penafasan sempit. Dos awal sebanyak satu milligram hingga dua milligram akan diberikan secara intravena. Sekiranya tiada kesan sampingan ubat diperhatikan, dos atropine boleh digandakan pada setiap lima minit sehingga gejala keracunan reda.\nAntara kesan sampingan atropine termasuklah sakit dada dan demam dengan suhu yang tinggi. Namun demikian, manfaat penggunaannya dalam rawatan bagi pesakit yang mempunyai gejala yang memudaratkan melebihi risiko kesan sampingan tersebut.\nSelain itu, Pralidoxime juga digunakan untuk merawat keracunan organofosfat. Ubat ini bertindak dengan melegakan gejala seperti lemah otot dan lumpuh. Bagi menjamin keberkesanan ubat ini, Pralidoxime perlu digunakan dalam tempoh masa 24 jam hingga 48 jam selepas keracunan berlaku. Antara kesan sampingan Pralidoxime termasuklah pening kepala, kabur penglihatan, penglihatan berganda, sakit kepala dan loya.\nDiazepam pula digunakan untuk mengawal sawan akibat keracunan organofosfat. Ubat ini dapat mengurangkan kerosakan pada sistem saraf pusat pesakit. Dos diazepam diberikan secara intravena sebanyak dua milligram hingga 10 miligram dan boleh dinaikkan pada setiap tiga minit hingga sepuluh minit jika perlu. Antara kesan sampingan Diazepam termasuk rasa mengantuk, ruam, sakit kepala, loya dan cirit-birit.\nSebagai kesimpulannya, bagi golongan yang berisiko untuk mendapat keracunan organofosfat seperti pekerja dalam bidang pertanian dan individu yang tinggal berhampiran dengan ladang, beberapa langkah pencegahan perlu diambil.\nPekerja di ladang perlu memakai alat perlindungan diri seperti sarung tangan, gogal dan topeng dengan lengkap semasa mengendalikan sebarang racun atau bahan kimia. Tindakan dan rawatan awal adalah penting seandainya terdapat pendedahan kepada organofosfat, sama ada secara sengaja mahupun tidak sengaja bagi mengelakkan komplikasi yang lebih serius dan boleh membawa maut.\nSekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang kecuali pada cuti umum.\n\u00a0\nBetty Tang Zhi Xin ialah Pegawai Farmasi (UF41) di Hospital Sibu, Sarawak." "Memperkasakan DBP dalam Usaha Menggalas Roh Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHasrat murni Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob untuk memperkasakan bahasa Melayu jelas tergambar dengan penggunaan bahasa tersebut dalam lawatan rasminya ke luar negara seperti Brunei, Thailand dan Indonesia baru-baru ini. Bahkan, beliau mengambil satu lagi langkah yang lebih pragmatik dengan menyusulkan bahasa Melayu supaya dijadikan sebagai bahasa kedua ASEAN.\nWalaupun cadangan Perdana Menteri Malaysia tersebut diterima baik oleh Presiden Indonesia pada awalnya, namun kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang menteri Indonesia telah mengubah keadaan. Menteri Indonesia tersebut menolak cadangan tersebut dan sebaliknya menyatakan bahawa bahasa Indonesia lebih sesuai untuk dijadikan bahasa kedua ASEAN. Hujahan bahawa bahasa Indonesia dipertuturkan oleh lebih daripada 250 juta orang berbanding dengan bahasa Melayu dijadikan sandaran untuk kenyataannya.\nCadangan YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob tersebut bukanlah sesuatu yang dibuat tanpa sebarang pertimbangan teliti. Sebaliknya, beliau berani mencadangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN setelah meneliti kedudukan bahasa Melayu dari aspek sejarah. Kajian dan catatan sejarah yang telah dijalankan sebelum ini mendapati bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa lingua franca di Nusantara seawal abad ke-6 lagi. Para pedagang dari China dan India yang singgah di Kepulauan Melayu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan antara mereka dengan orang tempatan. Malahan, ramai daripada mereka mempelajari bahasa Melayu kerana menyedari akan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa perdagangan.\nSementara itu, YB Senator Tan Sri Dato\u2019 Seri Utama Dr. Rais Yatim, iaitu Yang di-Pertua Dewan Negara yang merupakan seorang pejuang bahasa, budaya dan warisan Melayu tersohor menyatakan bahawa Bahasa Melayu bukan sahaja berperanan sebagai lingua franca di Nusantara, bahkan bahasa Indonesia itu sendiri didasari oleh bahasa Melayu. Beliau menyatakan bahawa pejuang kemerdekaan Indonesia dalam Sumpah Pemuda 1945 ketika Kongres 1928 dan 1938 memperakukan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa wilayah atas dasar kedudukannya sebagai satu daripada bahasa terawal di Asia Tenggara.\nYB Senator Tan Sri Dato\u2019 Seri Utama Dr. Rais Yatim turut mengukuhkan pandangannya dengan menjelaskan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa asas bagi tujuh negara ASEAN seperti Indonesia, Malaysia, Brunei,Singapura, Selatan Thailand dan juga bagi golongan minoriti Kemboja dan Selatan Filipina. Oleh itu, beliau menuntut bahawa bagi mengelakkan sebarang pergeseran geopolitik, bahasa Melayu lebih layak dan sesuai dijadikan bahasa kedua ASEAN.\nBegitu juga dengan Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang juga merangkap Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, turut menyuarakan pendapatnya. Menurut beliau, dalam sejarah itu sendiri tercatat bahawa bahasa Melayu amat sinonim dengan penduduk rantau ini. Beliau juga berpendapat \u00a0bahawa bahasa Melayu ialah bahasa supra yang digunakan di Nusantara sejak beberapa abad.\nSehubungan dengan usaha pemerkasaan bahasa Melayu, kerajaan pimpinan YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan DBP untuk mengambil langkah-langkah yang jitu dan\u00a0 sewajarnya bagi mengangkat martabat bahasa Melayu ke tahap yang lebih tinggi sehingga menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN, di samping meningkatkan penggunaan bahasa Melayu\u00a0 dalam bidang ilmu, komunikasi, diplomasi dan seni budaya.\nDalam merealisasikan hasrat dan harapan kerajaan tersebut, Sidang Meja Bulat bagi Pemartabatan Bahasa Melayu telah dianjurkan oleh DBP. Persidangan tersebut dihadiri lebih daripada 45 orang pemimpin dan pejuang bahasa Melayu yang mewakili pelbagai badan bukan kerajaan di Kuala Lumpur. Persidangan Meja Bulat tersebut dipengerusikan oleh YB Senator Tan Sri Dato\u2019 Seri Utama Dr. Rais Yatim yang merupakan seorang peneraju pemartabatan bahasa Melayu.\nDalam peristiwa bersejarah tersebut, semua pihak bersetuju dan sebulat suara menyokong usaha kerajaan Malaysia untuk meminda dan memperkasakan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 yang akan memberikan kuasa yang lebih luas kepada DBP terhadap pengurusan hal-hal yang berkaitan dengan pemartabatan bahasa Melayu di Malaysia. Malahan, para perwakilan meja bulat turut mengesyorkan agar meletakkan DBP di bawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan. Langkah memperkasakan Akta DBP itu pastinya akan menghidupkan dan melestarikan roh bahasa Melayu seiring dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.\nBahasa Melayu bukanlah milik sesuatu kaum tertentu tetapi milik setiap penduduk di Nusantara. Adalah menjadi harapan agar bahasa Melayu dijulang sebagai bahasa kedua ASEAN yang menjadi elemen penting dalam sosiobudaya masyarakat di rantau ini. Rakyat Malaysia tidak kira kaum, agama dan budaya yang menerima bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Persekutuan, sewajarnya berusaha menggunakan bahasa Melayu dalam komunikasi rasmi dan tidak rasmi. Malahan, kita juga harus berasa bangga dan menyokong usaha pemimpin negara ini untuk menjadikan bahasa Melayu\u00a0 sebagai\u00a0 bahasa kedua ASEAN.\nKita perlu sedar bahawa walaupun YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri berusaha memartabatkan bahasa Melayu dan meletakkan tanggungjawabnya kepada agensi kerajaan seperti DBP, namun sebagai rakyat Malaysia, kita juga harus berkongsi tanggungjawab tersebut sebagai usaha nasional. Dengan tanggungjawab dan komitmen kesemua pihak, maka akan terjamin kejayaan pemartabatan bahasa Melayu \u00a0kelak. Bak kata peribahasa, \u201cBersatu kita teguh, bercerai kita roboh\u201d.\n\u00a0\nDatuk M. Periasamy, Penganalisis Sosial\u2212Politik." "NRECC Cadang Tubuh Pasukan Pemantauan Khas Pantau Projek Pembangunan di Cameron Highlands\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) mencadangkan penubuhan sebuah pasukan pemantauan khas pelbagai agensi yang diketuai oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang bagi melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala terhadap projek pembangunan di Cameron Highlands.\nMenterinya, YB Nik Nazmi Nik Ahmad menyatakan bahawa penubuhan pasukan khas ini dijangkakan dapat memastikan sebarang projek yang tertakluk kepada keperluan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) mendapat kebenaran daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) terlebih dahulu sebelum diluluskan.\n\u201cPengarah Penyelarasan dan Operasi Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) akan mengetuai pasukan Pemantau Cerun dan dibantu oleh JMG Pahang bagi memantau keadaan tapak semasa untuk menilai tahap risiko berlakunya bencana tanah runtuh susulan aktiviti kerja tanah pertanian berhampiran dengan kawasan tersebut termasuklah kerja mitigasi,\u201d katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh NRECC.\nTambah beliau, terdapat 16 projek yang tertakluk kepada Perintah EIA 2015 telah mendapat kelulusan dan kini dalam pemantauan berdasarkan siasatan pihak JAS terhadap projek pembangunan di kawasan Cameron Highlands.\nBaru-baru ini, Yang di-Pertuan Agong, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta\u2019in Billah telah menitahkan agar kajian semula dijalankan terhadap semua projek pembangunan di kawasan bukit dan tanah tinggi di Cameron Highlands setelah berlakunya bencana alam di kawasan berkenaan.\nPihak JMG Pahang telah menerima satu surat permohonan ulasan penilaian tapak daripada Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands (PDTCH) selepas berlakunya kejadian pertama banjir lumpur yang dilaporkan di Perumahan Pekan Kampung Raja melibatkan sebuah rumah pada 30 Ogos 2022 lalu dan kemudiannya diikuti dengan dua lagi kejadian tanah runtuh di kawasan yang sama pada 17 November 2022 dan 20 Disember 2022.\nBeliau juga memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati kejadian banjir lumpur disyaki berpunca daripada aktiviti kerja tanah pertanian berhampiran dengan kawasan tersebut. Hal ini adalah kerana kawasan tersebut diberikan penarafan bahaya runtuh tahap sederhana-tinggi berdasarkan rekod JMG.\nTambahan pula, situasi tersebut diburukkan lagi dengan pelaksanaan kerja tanah yang tidak mengikut amalan terbaik dan seterusnya menyumbang kepada kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur kepada kawasan tadahan yang mempunyai penempatan penduduk.\nSiasatan JAS terhadap projek yang menyebabkan kejadian banjir lumpur di Pekan Kampung Raja pada 20 Disember 2022 lalu mendapati bahawa pemaju projek tidak menjalankan laporan EIA serta tidak memohon kelulusan laporan EIA sebelum sebarang kerja dilaksanakan.\nKelulusan laporan EIA ialah input penting dalam proses perancangan dan keputusan kelulusan sesuatu projek oleh pihak berkuasa melulus. Dalam hal ini, projek tersebut telah diluluskan tanpa EIA dan pelibatan JAS.\nSehubungan dengan itu, JAS telah mengambil tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974, iaitu dengan mengeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 untuk memberhentikan kerja di tapak hingga kelulusan Laporan EIA diperoleh.\nPihak pemaju juga telah diarahkan untuk melaksanakan langkah remedi bagi mengelakkan kejadian banjir lumpur. Pada masa yang sama, kertas siasatan bagi kes ini juga sedang disiapkan untuk tujuan pendakwaan di mahkamah." "Semak Notifikasi Produk Kosmetik sebelum Membuat Pembelian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Produk kosmetik di Malaysia dikawal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pengguna disarankan untuk menggunakan produk kosmetik yang bernotifikasi. Walaupun produk kosmetik tidak didaftarkan dengan KKM, namun produk ini bernotifikasi sebelum dijual, dipasarkan, diimport atau dikilangkan.\nSusulan daripada itu, Pegawai Farmasi, Program Perkhidmatan Farmasi KKM, Puan Siti Hawa Mohd Nor diundang bagi menjayakan rancangan Selamat Pagi Malaysia untuk membincangkan isu ubat pemutih kulit dan risiko penggunaannya, hari ini.\nMenurut beliau, produk pemutihan kulit ini kebanyakannya disasarkan kepada golongan wanita, terutamanya golongan yang terlalu obsesi untuk menjadi cantik. Terdapat juga segelintir lelaki yang suka akan kecantikan dan mempunyai standard yang tidak realistik yang mengatakan bahawa kecantikan ini hanya apabila seorang wanita atau lelaki itu berkulit putih, manakala orang yang berkulit sawa matang atau gelap itu tidak cantik. Oleh sebab itu, banyak pengguna yang taksub untuk memutihkan kulit mereka.\nTambah beliau, melanin pada kulit seseorang dapat membantu untuk melindungi kulit daripada sinaran ultraungu (UV) daripada matahari. Jika individu itu tidak memakai pelindung mentari (sun screen) boleh menyebabkan risiko menghidap kanser kulit. Oleh yang demikian, jika pengguna memakai produk pemutih kulit, produk ini boleh menjejaskan penghasilan dan pembentukan melanin sekali gus mempengaruhi kulit menjadi lebih cerah.\nTerang beliau lagi, penghasilan melanin akan berkurangan apabila kulit menjadi cerah dengan penggunaan produk pemutih ini dan meningkatkan risiko lain yang berbahaya. Walau bagaimanapun, jika pengguna ingin mendapatkan kulit yang cerah dengan cara yang betul, pengguna perlu mencari produk kecantikan yang mengandungi bahan pencerah seperti Alpha Arbutin, vitamin C dan ekstrak tumbuhan lain yang selamat untuk digunakan.\nUntuk makluman, produk kosmetik diklasifikasikan sebagai produk yang disapu di bahagian luar kulit sahaja seperti krim, serum, pelembab dan pencuci muka. Suntikan pula bukan di bawah pengelasan kosmetik. Hal ini adalah kerana suntikan ini telah dicucuk dan masuk ke dalam badan serta bukan digunakan untuk kegunaan luaran. Sebagai contohnya, produk suntikan vitamin C yang kini berleluasa adalah tidak berdaftar dengan KKM dan jika digunakan boleh dikenakan tindakan undang-undang.\nKebanyakan produk pemutih boleh didapati di farmasi atau di kedai ubat tetapi bagi sesetengah produk yang tidak mempunyai notifikasi mengandungi bahan yang terlarang atau yang tidak sepatutnya terdapat dalam produk kosmetik. Antara bahan terlarang tersebut ialah merkuri, Hidrokuinon dan Betamethasone, yakni ubat berdaftar yang hanya boleh didapati melalui pemantauan oleh ahli profesional kesihatan.\nJelas beliau, apabila ubat terkawal ini dimasukkan ke dalam produk kosmetik dan tidak dipantau oleh doktor serta dos bahan ubat terkawal tersebut tidak diketahui, risiko kesan sampingan yang teruk dan serius boleh berlaku kepada pengguna adalah tinggi.\nOleh yang demikian, bagi mengelakkan diri daripada membeli produk kosmetik yang tidak bernotifikasi, pengguna boleh memastikan sama ada produk yang ingin dibeli itu mempunyai notifikasi ataupun tidak dengan melayari laman sesawang Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA)\u00a0atau muat turun aplikasi NPRA Product Status di telefon pintar masing-masing. Pengguna boleh memasukkan nama produk atau nombor notifikasi produk tersebut dan dapat melihat sama ada produk berkenaan bernotifikasi ataupun tidak. Jika tidak bernotifikasi, hal ini bermakna produk berkenaan tidak dimaklumkan kepada KKM sebelum dipasarkan.\nNamun begitu, terdapat juga produk yang bernotifikasi tetapi ditarik balik penjualan produk itu kerana mengandungi bahan yang terlarang. Senarai produk yang telah dibatalkan notifikasinya juga boleh dilihat di laman sesawang NPRA.\nMenjawab persoalan berkenaan implikasi daripada produk yang perlu dimakan seperti kapsul, beliau menyatakan bahawa kapsul yang mengandungi asid traneksamik yang biasanya digunakan untuk menghentikan pendarahan jika diambil tanpa sebab akan memberikan kesan sampingan kepada pengguna tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana kapsul yang mengandungi asid traneksamik ini membantu untuk membekukan darah. Jika seseorang itu memakannya boleh mengakibatkan serangan jantung, bengkak di kaki, kesesakan nafas dan sebagainya. Situasi ini menunjukkan komplikasi yang serius, namun pengguna tidak nampak komplikasi berkenaan disebabkan oleh keinginan untuk memutihkan kulit yang tinggi.\nLanjutan daripada itu, beliau juga menjelaskan bahawa suntikan vitamin C sama ada suntikan itu dilakukan secara tunggal ataupun dicampurkan dengan kolagen, namun masih tiada bukti klinikal yang membuktikan suntikan ini menyebabkan keanjalan kulit dan mencerahkan kulit. Apabila pengguna melakukan suntikan ini di premis peribadi atau pusat kecantikan yang tidak berdaftar, dikhuatiri pengguna akan mendapat kesan sampingan disebabkan oleh penggunaan dos yang tinggi sekali gus boleh mengakibatkan kerosakan buah pinggang, batu karang dan penyakit lain.\nPada masa yang sama, pengguna juga tidak mengetahui individu yang memberikan suntikan vitamin C itu dilakukan oleh pihak yang bertauliah ataupun tidak di samping teknik suntikan itu juga diragui sama ada dilakukan dengan betul ataupun sebaliknya. Teknik suntikan yang salah boleh memberikan risiko gumpalan dalam darah dan jika persekitaran tidak bersih juga mengakibatkan jangkitan kuman dalam darah serta meningkatkan penularan penyakit berjangkit seperti human immunodeficiency virus (HIV) dan hepatitis.\n\u201cKeinginan yang tinggi untuk memutihkan kulit tidak terhad kepada masyarakat di Malaysia sahaja. Situasi ini boleh berlaku di mana-mana negara. Pada pandangan saya, keadaan ini bergantung pada persekitaran atau tanggapan masyarakat setempat terhadap penggunaan produk kosmetik ini,\u201d ujarnya di akhir rancangan berkenaan." "Program Tarif Elektrik Hijau Diteruskan Tahun Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pelaksanaan Program Tarif Elektrik Hijau atau Green Electricity Tariff (GET) yang diperkenalkan pada tahun 2022 akan diteruskan pada tahun ini. Susulan daripada peningkatan kapasiti penjanaan Tenaga Boleh Baharu (TBB) serta permintaan yang menggalakkan daripada pengguna elektrik, penawaran kuota GET bagi tahun 2023 adalah lebih tinggi, iaitu hingga 6600 GWj berbanding dengan 4500 GWj pada tahun lepas.\nMenurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), YB Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan medianya, kuota GET tersebut ditawarkan pada kadar tarif premium sedia ada sebanyak 3.7 sen/kWj.\nMenerusi program GET ini, pengguna yang mahu mengurangkan pembebasan gas rumah kaca boleh melanggan bekalan elektrik yang dijana daripada sumber TBB. Pelanggan akan dibekalkan dengan bekalan elektrik yang dijana daripada loji jana kuasa solar dan hidro yang sedang beroperasi. Mereka juga akan menerima sijil yang mengesahkan bahawa bekalan elektrik tersebut adalah daripada TBB melalui sijil Malaysia Renewable Energy Certificates (mREC) yang berdaftar dengan badan persijilan antarabangsa.\nBermula Januari 2023 hingga Jun 2023, kerajaan mengekalkan ciri utama program GET termasuklah pemberian insentif pengecualian caj Imbalance Cost Pass Through (ICPT). Pada masa yang sama, semakan semula insentif ini bagi tempoh enam bulan berikutnya, iaitu Julai 2023 hingga Disember 2023 sedang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga agar lebih jelas dan mengambil kira aspek jaminan daya harap dan kemampanan sistem bekalan elektrik secara holistik.\n\u201cNRECC akan terus komited untuk menawarkan bekalan elektrik yang bersih daripada sumber TBB kepada pengguna elektrik, terutamanya syarikat komersial dan industri yang berhasrat untuk mengurangkan jejak karbon demi memastikan kelestarian alam sekitar.\u201d\nBeliau juga menyatakan bahawa program ini turut menyediakan pilihan kepada entiti perniagaan, pelabur dan organisasi yang beroperasi di Malaysia dalam memenuhi komitmen Environmental, Social and Govemance (ESG) melalui penggunaan elektrik daripada sumber TBB.\nMengulas dengan lebih lanjut, pengguna yang ingin memperbaharui atau melanggan program GET boleh membuat permohonan di laman sesawang Tenaga Nasional Berhad atau menghubungi talian kedai TNB yang berhampiran.\nUntuk makluman, sebanyak 1994 orang pengguna daripada kategori domestik, komersial dan industri telah menyertai program GET pada tahun lalu." "UiTM Cawangan Perlis Cungkil Bakat Inovasi melalui Penganjuran i-IDeA 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah menganjurkan Majlis Pelancaran Pertandingan Inovasi, Reka Bentuk dan Artikulasi Antarabangsa Keenam 2023 atau The 6th International Innovation, Design and Articulation (i-IDeATM) 2023 hari ini di Dewan Kuliah 6, Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis.\nMajlis pelancaran bersempena penganjuran i-IDeATM 2023 yang akan berlangsung pada 9 Mei hingga 11 Mei 2023 ini dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad.\nDalam ucapan alu-aluan oleh Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, beliau menyatakan bahawa untuk Malaysia mencapai status sebagai negara berpendapatan tinggi dan membangun menjelang tahun 2030, kualiti dalam aspek bakat, keusahawanan, inovatif dan daya saing adalah sangat jitu. Bagi menyokong usaha ini, UiTM Cawangan Perlis melalui Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, UiTM Cawangan Perlis berbesar hati menganjurkan i-IDeATM 2023.\nMenurutnya, dengan tema \u201cMemperkasakan Penyelidikan, Idea Inovasi dan Keusahawanan ke Arah Ekonomi Mampan\u201d, i-IDeATM 2023 diharapkan dapat mengetengahkan idea inovasi peserta dan berupaya menyemarakkan budaya penyelidikan dan inovasi dalam kalangan warga UiTM Cawangan Perlis, masyarakat tempatan dan antarabangsa.\nSukacita ingin saya kongsikan bahawa, maklum balas penyertaan bagi i-IDeATM 2023 amatlah memberangsangkan. Sehingga hari ini, kami telah menerima kira-kira 500 peserta berdaftar dari negara Asean seperti Thailand, Indonesia dan Malaysia. Selain itu, kami juga menerima penyertaan daripada Iran dan Nigeria.\n\u201cOleh sebab itu, kami percaya bahawa dengan jumlah penyertaan yang begitu besar, program ini akan diiktiraf sebagai platform yang baik untuk para penyelidik berkongsikan ilmu pengetahuan dan pengalaman mereka,\u201d tambahnya lagi.\nSementara itu, YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad dalam ucapan perasmiannya, i-IDeATM 2023 yang memperkasakan penyelidikan, inovasi, idea dan keusahawanan ke arah ekonomi mampan adalah benar-benar penting kerana usaha ini memberikan peluang yang baik kepada peserta untuk mengkomersialkan inovasi dan idea, menerbitkan hasil penyelidikan, berkongsikan pengetahuan dan bertukar-tukar pandangan berkaitan dengan isu semasa.\nProgram seumpama ini wajar disokong kerana memberikan peluang yang baik dalam mempromosikan budaya penyelidikan dan inovasi dari pelbagai peringkat pendidikan. i-IDeATM 2023 juga mampu meningkatkan kualiti pendidikan dengan peningkatan keberhasilan pelajar dan kecemerlangan sesebuah institusi melalui penyelidikan dan inovasi.\n\u201cSaya percaya i-IDeATM 2023 akan berfungsi sebagai pemangkin untuk meningkatkan kerjasama dan pelibatan antara institusi pendidikan, agensi dan pengamal industri. Saya juga yakin bahawa sinergi ini akan mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertukaran maklumat, penjanaan idea baharu dan penerokaan pelbagai kegunaan produk inovasi yang boleh memberikan manfaat kepada masyarakat kita,\u201d jelasnya lagi.\n\u00a0\n\u00a0\nSecara khususnya, antara tujuan penganjuran i-IDeATM 2023 termasuklah mempamerkan dan mempertandingkan idea inovasi, daya cipta dan reka bentuk yang dihasilkan oleh ahli akademik dan bukan akademik, agensi dan pelajar daripada peringkat rendah hinggalah IPT tempatan dan luar negara.\nProgram i-IDeATM 2023 juga menjadi wadah kepada kumpulan penyelidik, ahli akademik dan bukan akademik serta pelajar untuk untuk mengkomersialkan idea inovasi mereka kepada orang awam.\nSelain itu, program ini juga dapat menerapkan budaya inovasi melalui penyelidikan di samping mewujudkan kesedaran penyelidikan dalam kalangan pakar, terutamanya dalam komuniti di UiTM Cawangan Perlis.\nPada masa yang sama, i-IDeATM 2023 diharapkan dapat mewujudkan kerjasama dalam kalangan peserta pertandingan serta berpotensi merangsang dan melahirkan bakat kreatif pereka cipta dengan mengadakan pelbagai aktiviti pengisian program sepanjang program ini berlangsung.\ni-IDeATM 2023 yang diiktiraf sebagai pertandingan bertaraf antarabangsa ini terdiri daripada tiga kategori utama, iaitu Pertandingan Inovasi, Persidangan Antarbangsa dan Pertandingan Luar.\nBagi kategori Pertandingan Inovasi, acara yang dipertandingkan ialah Crown untuk golongan profesional, orang baharu (novice) dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT); Crystal untuk pelajar sekolah rendah dan menengah, serta komuniti; dan Comiic yang juga terbuka kepada pelajar sekolah rendah, menengah dan IPT.\nSementara itu, bagi kategori persidangan antarabangsa, acara yang diadakan ialah Persidangan Sains, Teknologi dan Kejuruteraan Antarabangsa (ISTEC); Persidangan Sains Tanah Antarabangsa; dan Persidangan Sains Sukan Antarabangsa (ISSC).\nBagi kategori pertandingan luar pula, acara yang dipertandingkan ialah Cabaran i-Ultra, Cabaran i-Biz, Pertandingan i-Explore dan Festival Idea Berwarna-warni Antarabangsa.\nBagi memastikan kelancaran program i-IDeATM 2023, UiTM Cawangan Perlis turut menjalinkan kerjasama strategik dengan institusi luar negara seperti Prince of Songkla University, Pattani, Thailand.\nAntara rakan strategi lain yang terlibat dalam penganjuran i-IDeATM 2023 termasuklah Universiti Malaysia Perlis, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Persatuan Sains dan Teknologi Keadaan Pepejal, Politeknik Sultan Abdul Halim Mua\u2019dzam Shah, Kolej Komuniti Arau, Quest International University, Pusat Latihan Teknologi Tinggi Taiping, Northern Runners Resources, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan majalah Dewan Kosmik selaku majalah rasmi i-IDeATM 2023.\nTurut hadir dalam majlis ini ialah pengurusan dan eksekutif tertinggi UiTM Cawangan Perlis yang terdiri daripada Timbalan Rektor Jaringan Industri, Masyarakat, Keusahawanan dan Alumni, YBrs. Sr. Dr. Ernieza Suhana Mokhtar; Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Akademik, Profesor Ts. Dr. Mohd Azlan Mohd Ishak; Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor; Profesor di Fakulti Sains Gunaan, Profesor Dr. Nafisah Osman; wakil daripada rakan strategik i-IDeATM 2023; dan ahli jawatankuasa i-IDeATM 2023." "Diet MIND Pemakanan Sihat untuk Minda\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDiet Mediterranean-DASH Intervensi untuk Kelewatan Neurodegeneratif atau lebih dikenali sebagai diet MIND ialah kombinasi dua diet yang popular, iaitu diet Mediterranean yang menekankan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran, serta diet DASH, iaitu pendekatan pemakanan untuk menghentikan hipertensi.\nDiet MIND disarankan untuk mengurangkan risiko demensia dan kemerosotan fungsi otak, terutamanya dalam kalangan warga emas.\nDiet MIND dicipta oleh sekumpulan pakar pemakanan di Amerika Syarikat pada tahun 2015 yang mengutamakan pengambilan makanan berkhasiat dan mengandungi zat tinggi seperti sayur-sayuran, kekacang, buah beri, bijirin penuh, ikan dan ayam. \nDiet MIND juga mengurangkan pengambilan makanan yang mempunyai kandungan natrium yang tinggi seperti daging merah, makanan bergoreng, pastri dan gula-gula.\nKomponen yang terdapat dalam diet MIND ini mudah diperoleh dan senang diikuti. Hal ini menjadikan diet MIND dipilih sebagai satu daripada diet yang terbaik pada tahun 2022.\nKebaikan Diet MIND \nKemerosotan fungsi kognitif berlaku akibat penuaan. Warga emas ialah golongan yang berisiko tinggi untuk menghidap penyakit kecelaruan kognitif seperti demensia atau Alzheimer.\nTerdapat kajian yang menunjukkan bahawa diet MIND dapat mengurangkan risiko penyakit Alzheimer serta memberikan perlindungan otak yang lebih baik. Selain itu, pematuhan kepada diet MIND juga dapat menurunkan kadar kemerosotan fungsi kognitif kepada individu yang pernah diserang strok.\nSelain menghadapi risiko kemerosotan fungsi kognitif, warga emas juga lebih cenderung mengalami kesusutan jisim otot. Hal ini akan meningkatkan risiko jatuh dan kecederaan kepada golongan warga emas sekali gus boleh menyebabkan kehilangan upaya fizikal.\nSatu penemuan penyelidikan telah melaporkan bahawa diet MIND dapat membantu mencegah kesusutan jisim otot melalui perlindungan pada sel otot. Hal ini disebabkan oleh kandungan zat yang kaya dalam diet MIND seperti protein, vitamin, polifenol dan antioksidan.\nMasalah obesiti dan berat badan yang berlebihan di Malaysia kini berada pada tahap yang membimbangkan. Laporan daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada tahun 2019 menyatakan bahawa sebanyak 50.1 peratus golongan dewasa di Malaysia menghadapi masalah berat badan yang berlebihan dan obesiti.\nTerdapat satu kajian yang dijalankan terhadap golongan wanita yang mengalami obesiti di Iran menunjukkan bahawa kepatuhan kepada diet MIND dapat membantu mengurangkan berat badan dan peratusan lemak. Oleh hal yang demikian, diet MIND berpotensi dijadikan alternatif yang lebih sihat bagi pengurusan berat badan dalam jangka masa panjang.\nBerdasarkan maklumat daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, penyakit jantung iskemik ialah pembunuh nombor satu di Malaysia dan menyumbang kepada 17 peratus daripada jumlah kematian pada tahun 2020. Oleh itu, penduduk Malaysia sentiasa dinasihatkan agar mengambil makanan yang sihat bagi mengurangkan risiko penyakit jantung. Sifat diet MIND yang mempunyai komponen perlindungan jantung seperti bijirin penuh, sayur-sayuran berdaun hijau dan kekacang dapat mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung dan strok.\nMakanan yang Digalakkan dalam Diet MIND \nSayur-sayuran hijau berdaun seperti ulam-ulaman (termasuklah pucuk gajus, daun pegaga, pucuk ubi, ulam raja), sawi hijau, bayam dan daun salad digalakkan untuk dimakan sekurang-kurangnya tiga cawan sayur atau lebih dalam seminggu.\nSayur-sayuran lain seperti kacang panjang, brokoli, kubis, tomato, lobak merah dan terung juga digalakkan untuk dimakan sekurang-kurangnya satu cawan sehari.\nDigalakkan untuk memakan buah beri sekurang-kurangnya dua hidangan seminggu. Antara buah beri yang digalakkan termasuklah strawberi, beri biru, raspberi dan kranberi. Satu hidangan buah beri adalah bersamaan dengan separuh cawan.\nKekacang seperti kacang badam, kacang gajus, kacang walnat dan kacang pistasio digalakkan untuk dimakan sekurang-kurangnya enam atau lebih hidangan seminggu. Satu hidangan kekacang adalah bersamaan dengan saiz satu cekup tangan.\nGunakan minyak zaitun sebagai minyak masak utama semasa penyediaan makanan.\nBijirin penuh seperti mil oat, beras perang, beras merah, pasta gandum dan roti gandum digalakkan untuk dimakan sekurang-kurangnya tiga hidangan sehari. Satu hidangan bijirin penuh adalah bersamaan dengan saiz dua senduk rata (untuk nasi dan pasta) dan dua keping (untuk roti).\nIkan, terutamanya ikan laut dalam mengandungi asid lemak omega-3 yang tinggi dan digalakkan untuk dimakan sekurang-kurangnya satu hidangan seminggu. Antara contoh ikan laut dalam ialah ikan kembung, ikan tenggiri, ikan tongkol, ikan bawal, ikan salmon dan ikan senangin. Satu hidangan ikan adalah sekurang-kurangnya seekor ikan sederhana.\nKacang atau legum seperti kacang pis, kacang buncis, kacang edamame dan kacang kuda digalakkan untuk dimakan sekurang-kurangnya empat hidangan seminggu. Satu hidangan kacang atau legum adalah lebih kurang satu cawan.\nDaging ayam adalah digalakkan untuk dimakan sekurang-kurangnya dua hidangan dengan cara memasaknya tidak digoreng. Satu hidangan daging ayam adalah bersamaan dengan saiz tapak tangan.\nAmalkan tabiat untuk minum segelas jus anggur atau jus buah delima tanpa gula sehari. Anggur dan buah delima mempunyai antioksidan seperti resveratrol dan antosianin yang memberikan manfaat kepada fungsi kognitif.\nMakanan yang Perlu Dihadkan dalam Diet MIND\nMakanan ringan atau pencuci mulut seperti aiskrim, kek keju, kuih-muih dan donat harus dielakkan kerana makanan ini mengandungi kandungan gula, lemak tepu dan lemak trans yang tinggi. Cuba hadkan pengambilan makanan dalam kumpulan ini tidak lebih daripada empat kali seminggu.\nPengambilan mentega dan marjerin haruslah kurang daripada satu sudu besar setiap hari.\nDaging merah seperti daging lembu, daging kambing dan produk yang diperbuat daripada daging tersebut harus dihadkan pengambilannya tidak lebih daripada tiga hidangan seminggu. Satu hidangan daging merah adalah bersamaan dengan saiz tapak tangan.\nPengambilan makanan bergoreng, terutamanya makanan segera haruslah dihadkan kepada kurang daripada sekali seminggu.\nSecara keseluruhannya, diet MIND ialah panduan pemakanan sihat yang menggabungkan corak pemakanan daripada diet Mediterranean dan diet DASH. Diet ini dapat memberikan beberapa manfaat kepada kesihatan, terutamanya dapat mencegah kemerosotan fungsi otak dan penyakit jantung serta meningkatkan fungsi otot dan pengurusan berat badan. Namun begitu, penyelidikan berterusan haruslah dijalankan untuk menerokai faedah lain berkaitan dengan diet MIND." "Penerimaan Penggunaan Kecerdasan Buatan dalam Dunia Seni\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKini, dunia berada dalam era kemajuan sains dan teknologi yang mendominasi kehidupan manusia dalam setiap aspek termasuklah sosial, hiburan, pekerjaan dan sebagainya. Kebergantungan terhadap teknologi telah memudahkan urusan seharian manusia. Teknologi boleh digunakan di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja.\nKecerdasan buatan (A.I) adalah antara teknologi baharu yang kian berkembang penggunaannya dalam dunia moden. Bagaimanakah teknologi A.I ini berfungsi? Secara saintifiknya, terdapat mekanisme pembelajaran mesin (machine learning) dalam teknologi A.I yang memberikannya kemampuan untuk belajar dan memperbaik kesalahan sendiri daripada pengalaman tanpa diprogramkan secara manual oleh manusia.\nSemasa proses pembelajaran, teknologi A.I melakukan pemerhatian terhadap data terkumpul, kemudiannya mencari corak dan akhirnya membuat keputusan pada masa hadapan berdasarkan hasil akhir sebelum ini.\nKelebihan pembelajaran mesin dalam teknologi A.I ini ialah membolehkan analisis data yang berjumlah besar dapat dilengkapkan dalam jangka masa yang singkat. Teknologi A.I juga telah diterapkan dalam pelbagai jenis industri seperti kesihatan, kewangan, perniagaan dan beberapa sektor utama lain.\nIndustri seni dan kreatif juga tidak terkecuali dengan kehadiran teknologi A.I. Walaupun teknologi ini kelihatan memberikan manfaat kepada manusia, namun sebahagian besar masyarakat khuatir dan takut dengan kemampuannya yang mampu menyingkirkan manusia sebagai tenaga kerja dalam industri. Sama seperti kebanyakan sektor yang lain, teknologi A.I mendapat tentangan yang cukup besar daripada penggiat seni dan pencinta seni.\nSebelum ini, satu perdebatan hangat telah berlaku dalam media sosial berkenaan dengan keupayaan teknologi A.I untuk menghasilkan karya seni. Seperti yang kita sedia maklum, karya seni ialah suatu karya yang dihasilkan oleh individu melalui penerapan kumpulan idea, konsep dan teknik untuk tujuan estetik atau seni. Jadi, adakah karya ini boleh dikatakan sebagai karya seni jika dihasilkan oleh teknologi A.I yang bukannya seorang manusia?\nHal ini bertambah hangat dengan tersiarnya sebuah poster ilustrasi yang digunakan sebagai tanda protes untuk menolak penggunaan teknologi A.I. Namun begitu, tidak semua penggiat dan pencinta seni yang menyokong sangkalan tersebut. Bagi mereka, teknologi A.I masih mempunyai peluang yang boleh ditonjolkan dalam industri seni jika dilihat dari perspektif yang berbeza.\nOleh sebab itu, pelbagai reaksi dan pandangan diutarakan oleh masyarakat bagi menyokong ataupun menentang penggunaan teknologi A.I. Penerimaan masyarakat terhadap teknologi tersebut masih berbelah bahagi disebabkan oleh timbulnya beberapa isu yang berkaitan dengan industri seni.\nPertama, kita melihat dari sudut masyarakat yang menentang teknologi ini. Mereka sering kali mengutarakan isu yang tidak asing dalam dunia seni jika berkaitan dengan teknologi, iaitu adakah karya yang dicipta oleh teknologi A.I boleh diiktiraf sebagai seni?\nSecara teknikalnya, karya yang dicipta oleh teknologi A.I ialah seni. Hal ini dikatakan demikian kerana seni bersifat bebas dan terbuka, yakni tidak terikat dengan sesuatu peraturan. Walau bagaimanapun, hal yang menjadi kontroversi adalah kerana teknologi A.I. itu sendiri bukanlah seorang manusia.\nJika difikirkan, artis sebenar bagi karya yang dihasilkan oleh teknologi A.I bukanlah sebuah komputer tetapi ahli jurutera kreatif yang telah berusaha menggubah susunan matematik secara terperinci sehingga mampu mengarahkan komputer itu untuk menghasilkan karya yang penuh berseni.\nNamun begitu, seperti yang berlaku kepada pelbagai inovasi kreatif yang lain, sudah pastinya pendapat ini menerima banyak bantahan. Penggiat seni masih belum dapat menerima adaptasi baharu ini dan menganggap bahawa teknologi A.I telah melanggar etika semula jadi dalam dunia seni kreatif.\nKedua, timbul juga persoalan siapakah yang memiliki hak cipta karya yang dihasilkan oleh teknologi A.I itu? Jika pengguna menggunakan program penjana teknologi A.I untuk menghasilkan seni, adakah seni tersebut menjadi milik pengguna penjana itu atau yang menciptakan program tersebut? Pada masa yang sama, jika output yang dimasukkan akan digubah oleh algoritma A.I dan bukan dilakukan oleh manusia, bolehkah pencipta algoritma A.I tersebut memperakui hak cipta terhadap seni tersebut?\nDi bawah peraturan hak cipta, seseorang individu boleh memperakui hak cipta secara sah jika karya tersebut dihasilkan daripada kerja, kemahiran dan usaha individu tersebut. Perkara ini bagi memastikan sesiapa sahaja yang menghasilkan seni dapat berkarya dan mendapatkan keuntungan daripada hasil karya tersebut. Peraturan hak cipta ini adalah untuk menggalakkan lebih banyak orang untuk berkarya dalam industri seni kreatif.\nPada hakikatnya, seni A.I melanggar peraturan ini. Teknologi A.I menggunakan algoritma yang membenarkan pengguna membuat pilihan secara bebas, memproses dan menghasilkan apa-apa sahaja tanpa memerlukan campur tangan manusia. Dengan kata lain, A.I bukan lagi alat untuk membantu manusia menghasilkan seni tetapi satu daripada inovasi yang mampu membuat keputusan sendiri dalam menghasilkan sesebuah seni.\nBaru-baru ini, berlaku satu kejadian yang melibatkan isu hak cipta apabila seorang individu telah menggunakan seni teknologi A.I untuk menghasilkan sebuah hasil seni yang begitu mirip dengan gaya seni seorang artis terkenal daripada Korea. Hal ini menjadi kontroversi kerana seni teknologi A.I tersebut dibuat selepas tiga hari kematian beliau. Hal ini sekali gus menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan peminat beliau yang menyatakan bahawa perbuatan tersebut merupakan satu bentuk eksploitasi baharu kepada karya seni.\nKetiga, bagaimanakah nasib artis yang menghasilkan karya mereka? Bagi mereka, penggunaan teknologi A.I ibarat meragut usaha yang selama ini mereka curahkan untuk belajar dan mengasah bakat kreatif yang dimiliki. Tenaga, masa dan wang ialah harga yang perlu dibayar bagi mencapai segala yang mereka miliki kini. Adakah kesemua perkara itu bernilai jika mereka yang tidak mempunyai latar belakang kreatif juga dapat menghasilkan seni dengan bantuan teknologi A.I?\nLebih merisaukan lagi, apabila terdapat kemungkinan pihak industri tidak lagi memerlukan khidmat manusia. Dengan adanya teknologi A.I, pihak majikan boleh memilih sesiapa sahaja tanpa melihat latar belakang kreatif individu itu untuk belajar mengendalikan teknologi A.I tersebut. Seterusnya, hal ini dapat mengurangkan wang yang dikeluarkan untuk membayar khidmat profesional. Sebelum ini, artis hanya bersaing sesama sendiri tetapi kini artis perlu bersaing dengan teknologi A.I dalam merebut jawatan dalam dunia industri seni kreatif. Oleh hal yang demikian, mereka perlu berusaha dengan lebih keras bagi menunjukkan kebolehan dan kelebihan yang ada pada manusia berbanding dengan teknologi A.I itu sendiri.\nWalaupun teknologi A.I memiliki banyak sudut yang negatif, namun sebahagian artis pula melihatnya dari perspektif yang berbeza. Pada pandangan mereka, teknologi A.I ini mempunyai sudut yang positif dan manusia akan rugi jika tidak memanfaatkannya dengan sebaik-baiknya.\nSudut positif yang pertama ialah teknologi A.I dikategorikan sebagai sebuah alatan lukisan. Secara umumnya, teknologi ini sememangnya boleh diiktiraf sebagai alat seni disebabkan oleh kecanggihan yang diperoleh mengikut peredaran zaman. Teknologi A.I sebagai alat melukis yang mampu memberikan impak yang positif kepada setiap karya yang dihasilkan kerana ketepatan dan kesempurnaan sesebuah lukisan itu mampu mengatasi kepintaran minda manusia.\nDengan kata lain, teknologi A.I mampu mengisi ruang kosong antara sifat yang dimiliki oleh manusia dengan sifat yang sempurna. Misalnya dalam seni bina, seorang arkitek perlu melakarkan sebuah tapak projek pembangunan yang sudah semestinya memerlukan keupayaan teknologi A.I ini bagi memudahkan kerja lakaran dengan lebih cepat, tepat dan mudah.\nKecanggihan teknologi A.I mampu menjimatkan masa dalam proses menyelesaikan lakaran tersebut dan tidak perlu mengambil masa berjam-jam atau berhari-hari hanya untuk membuat lakaran. Perkataan tepat pula merujuk penggunaan kaedah matematik terhadap ukuran tapak dan bangunan, manakala mudah membawa erti bahawa mereka tidak perlu bersusah-payah\u00a0 menyediakan lakaran dengan menggunakan teknik manual yang kadangkala akan mengundang kesalahan semasa proses lakaran.\nSelain itu, teknologi A.I dapat membantu artis untuk mencari idea dan gambaran kepada karya atau projek yang diusahakan. Seperti yang diketahui umum, penghasilan sesuatu projek seni itu memerlukan artis untuk memerah minda dan biasanya mengambil masa yang begitu lama.\nDengan adanya teknologi A.I, artis hanya perlu memasukkan data yang dikehendaki dan hasil yang diperoleh membolehkan\u00a0 idea tersebut dikembangkan lagi mengikut kehendak mereka. Selain digunakan dalam mengumpulkan idea, teknologi A.I juga digunakan untuk melatih artis baharu bereksperimentasi dan menajamkan keupayaan minda untuk menjadi lebih kreatif.\nDunia kreatif sememangnya penuh dengan potensi. Kemajuan dalam teknologi A.I membolehkan komputer bersaing dengan manusia dalam bidang analisis, lukisan, lakaran, penulisan dan reka grafik. Pada masa ini, penjana A.I memberikan sesebuah mesin keupayaan untuk mencipta atau menghasilkan karya yang benar-benar baharu selepas mendapat inspirasi daripada sejumlah besar data dan pengetahuan secara dalam talian yang telah terkumpul selama berabad-abad lamanya. Hal ini berpotensi untuk merevolusikan kreativiti manusia dan secara tidak langsung menjadikan mereka lebih profesional dalam menilai semula cara mereka bekerja.\nJika diimbas kembali pada saat seni digital dan fotografi diperkenalkan, penerimaan masyarakat pada ketika itu adalah sama seperti sekarang. Seni digital pada ketika itu dianggap akan melenyapkan aktiviti seni tradisional. Artis muda adalah antara golongan yang berminat dengan seni digital kerana mereka sudah terdedah lebih awal dengan peranti digital. Oleh sebab itu, mereka lebih mudah untuk mengadaptasi seni digital ini.\nWalaupun penggunaan seni digital dan fotografi telah meluas tetapi teknologi ini tidak menjatuhkan sebarang bentuk aktiviti seni yang lain. Begitulah sistem teknologi berkembang. Kita hanya perlu menyediakan diri untuk beradaptasi dengan teknologi A.I yang kian menerajui kesemua industri seni. Dunia kreatif ini luas. Dengan wujudnya teknologi A.I, maka cabang bentuk seni semakin bertambah. Suatu seni itu tidak akan \u201cmati\u201d jika masih mempunyai peminat, keperluan, permintaan dan sokongan daripada masyarakat.\nSebagai kesimpulannya, berdasarkan perkongsian ini jelaslah bahawa kesemua kenyataan yang diutarakan tidaklah benar ataupun salah. Setiap orang berhak untuk menyuarakan pendapat masing-masing mengenai penerimaan dan penolakan mereka terhadap teknologi A.I.\nDalam dunia ini, tiada satu teknologi yang mampu dikatakan sempurna dalam setiap aspek. Penulis berharap penggunaan teknologi A.I ini dapat diberikan peluang dalam industri kreatif dan segala kekurangan daripada teknologi A.I dapat diselesaikan dengan kadar segera. Teknologi ini berpotensi untuk dikembangkan dengan lebih meluas dan mampu memberikan pelbagai manfaat dalam dunia seni.\nRencana ini ditulis bersama-sama Encik Mujahid Naim Musa dan Encik Muhammad Zubair Khairul Ridzwan." "Jangka Hayat Beberapa Produk Vaksin Dilanjutkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan jaminan bahawa vaksin COVID-19 yang dilanjutkan tempoh jangka hayatnya adalah selamat dan berkesan. Pelanjutan ini adalah untuk penambahan dari segi jangka hayat yang sedia ada berdasarkan kajian dan data kestabilan baharu yang diterima oleh Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA).\nMenurut Pegawai Farmasi, Bahagian Regulatori Farmasi Negara KKM, Encik Amirul Mohd Mahfuz Mannan dalam sesi temu bual bersama-sama pihak Astro AWANI pagi tadi, pelanjutan jangka hayat vaksin ini bukan sahaja dilakukan di Malaysia.\n\u201cDi negara lain juga, jangka hayat vaksin yang pada awalnya diberikan untuk tempoh yang singkat disebabkan oleh data kestabilan yang ada pada ketika itu hanyalah untuk tempoh yang singkat. Apabila masa semakin berlalu, data kestabilan yang dikumpulkan bertambah sekali gus membolehkan jangka hayat vaksin ini dilanjutkan,\u201c jelasnya dalam dalam slot Awani Pagi yang membincangkan tajuk \u201cPelanjutan Jangka Hayat Vaksin COVID-19\u201c.\nPelanjutan tempoh jangka hayat vaksin ini diluluskan berdasarkan penilaian data kestabilan yang diterima oleh NPRA. Kajian ini dijalankan oleh pihak pengilang pada suhu penyimpanan tertentu mengikut masa yang sebenar. Pada kebiasaannya, untuk permohonan pendaftaran sesuatu produk vaksin, pihak pengilang akan mengemukakan data kajian kestabilan bagi tempoh dua tahun atau tiga tahun untuk penilaian.\nOleh yang demikian, bagi kes COVID-19, pihak pengilang dibenarkan untuk mengemukakan data kajian kestabilan dari semasa ke semasa. Hal ini bermakna, jika pengilang mengemukakan data kestabilan selama enam bulan, maka vaksin ini akan diluluskan dengan tarikh luputnya untuk tempoh enam bulan.\nTambah beliau, berdasarkan kelulusan yang terkini, hanya tiga vaksin yang dilanjutkan jangka hayatnya di Malaysia, iaitu vaksin Comirnaty, CoronaVac dan Convidecia.\nSuhu penyimpanan bagi vaksin Comirnaty ialah \u00a0-90 darjah Celsius hingga -60 darjah Celsius dan jangka hayat yang diluluskan adalah antara 12 bulan hingga 18 bulan. Bagi vaksin CoronaVac pula, suhu penyimpanannya ialah dua darjah Celsius hingga lapan darjah Celsius dan jangka hayat yang telah diluluskan adalah selama 24 bulan. Begitu juga dengan vaksin Convidecia yang suhu penyimpanan dan tempoh jangka hayat yang sama seperti vaksin CoronaVac.\nBeliau juga memaklumkan bahawa vaksin COVID-19 sangat sensitif terhadap persekitaran, terutamanya suhu. Pada kebiasaannya, vaksin ini stabil pada suhu yang sangat rendah atau sejuk. Faktor lain yang mempengaruhi kestabilan vaksin ialah cahaya dan kebolehan bertindak balas dengan bekas penyimpanan vaksin tersebut.\n\u201cTindak balas antara vaksin dengan komponen lain selain bahan aktif vaksin berkenaan juga ditentukan semasa pembangunan vaksin. Kesemua faktor ini perlu diambil kira oleh pihak pengilang semasa membuat kajian kestabilan yang akan menentukan jangka hayat sesuatu vaksin. Dalam kajian kestabilan vaksin tersebut, pihak pengilang akan meletakkan suhu yang optimum bagi membolehkan vaksin berkenaan kekal stabil dalam tempoh yang dikehendaki,\u201c hurainya lagi.\nPada masa yang sama, beliau mengingatkan pengguna agar prihatin terhadap tarikh luput pada label vaksin ataupun ubat yang lain. Jika seseorang itu telah disuntik dengan vaksin yang telah luput jangka hayatnya, berkemungkinan vaksin tersebut kurang berkesan untuk mencegah jangkitan COVID-19. Hal ini juga boleh menyebabkan kesan sampingan seperti berlakunya pencemaran pada komponen vaksin.\nSeterusnya, dari segi pemantauan vaksin pula, KKM telah menyediakan garis panduan pengurusan vaksin COVID-19 untuk mengendalikan vaksin dengan cara yang betul dan teratur.\n\u201cVaksin yang dihasilkan pada tahun lepas juga boleh diguna pakai untuk tempoh jangka hayat yang baharu, manakala vaksin yang dihasilkan pada tahun ini pula sememangnya boleh digunakan untuk tempoh jangka hayat yang telah diluluskan,\u201c jelasnya.\nKini, Malaysia berada dalam fasa endemik. Risiko untuk jangkitan COVID-19 dalam kalangan masyarakat masih tinggi. Keperluan dos penggalak perlu diambil kira dengan situasi COVID-19 sama ada yang berlaku di dalam negara ataupun di luar negara. Adalah menjadi tanggungjawab KKM untuk memberikan saranan kepada masyarakat di negara ini dari segi keperluan untuk menerima vaksin dos penggalak COVID-19.\nKKM sangat komited untuk memastikan suhu produk farmaseutikal di Malaysia termasuklah vaksin COVID-19 telah dinilai dari aspek kualiti dan keselamatan oleh NPRA dan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah. Penilaian manfaat berbanding dengan risiko bagi vaksin COVID-19 yang diberikan kelulusan bersyarat ini dilaksanakan secara berterusan berdasarkan data terkini dan dari semasa ke semasa.\nKKM sentiasa mengharapkan pengguna atau pesakit untuk terus cakna dan prihatin terhadap vaksin yang diambil. Masyarakat dinasihatkan agar menyemak maklumat terkini berkenaan tarikh luput sesuatu vaksin dengan melayari laman sesawang NPRA." "Lima Hala Tuju Jayakan Agenda Keterjaminan Makanan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Keadaan ekonomi dunia pada tahun ini dijangkakan lebih mencabar disebabkan oleh krisis tenaga dan keterjaminan makanan menjadi antara ancaman utama ekonomi, khususnya bagi negara membangun. Prospek sektor agromakanan negara diramalkan akan berhadapan dengan cabaran, terutamanya dalam mengekalkan pertumbuhan perdagangan susulan daripada peningkatan ketidaktentuan geopolitik dan penyusutan eksport negara.\nDemikian antara inti pati dalam ucaptama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), YB Tuan Haji Mohamad Sabu dalam Majlis Amanat Menteri MAFS dengan tema \u201cKemampanan Sektor Agromakanan Negara Teras Mengemudi Cabaran Krisis Global\u201d, di Wisma Tani, hari ini.\nMenurut beliau, kerajaan melalui MAFS sentiasa prihatin dengan isu bekalan makanan dan melaksanakan pelbagai langkah intervensi untuk membantu mengawal harga dengan menstabilkan bekalan. Tema yang dipilih ini ialah manifestasi terhadap peranan MAFS sebagai penjamin bekalan makanan negara agar sentiasa mencukupi dan tersedia kepada rakyat Malaysia.\nKeterjaminan makanan adalah antara perkara yang menjadi keutamaan Kerajaan Perpaduan dan seiring dengan objektif Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 dan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).\nSusulan daripada itu, MAFS menggariskan lima hala tuju dan fokus utama pada tahun ini bagi menjayakan agenda keterjaminan makanan negara. Pertama, memperkasakan industri akuakultur dengan menyasarkan peningkatan hasil ikan daripada aktiviti akuakultur kepada 60 peratus. Kedua, memperluas penternakan lembu secara fidlot bagi memenuhi keperluan bekalan daging tempatan dan eksport supaya sasaran pengeluaran daging tempatan dapat ditingkatkan untuk mencapai sasaran 50 peratus daging menjelang tahun 2025. Ketiga, memulakan usaha penanaman jagung bijian bagi mengurangkan 30 peratus daripada pergantungan import.\nDi samping itu, satu perancangan dan tindakan yang tersusun perlu dilakukan segera bagi mencukupkan bekalan makanan di dalam negara dan memastikan rakyat mempunyai akses kepada semua jenis nutrien yang diperlukan. Kementerian juga akan meningkatkan pelibatan belia dalam sektor agromakanan dan pertanian pintar selaras dengan Revolusi Perindustrian Keempat. Hala tuju yang kelima pula ialah memperkasakan institut latihan pertanian bagi melahirkan graduan yang berkualiti tinggi dalam bidang teknologi pertanian, penyelidikan dan pembangunan serta pertanian moden selaras dengan hasrat negara untuk membentuk pekerja mahir pertanian.\n\u201cWarga kementerian diseru untuk meneruskan amalan budaya berintegriti tinggi, amanah dan cekap yang merupakan etika kerja penting kepada pencapaian hasil kerja berkualiti tinggi. Oleh itu, hala tuju ini diharapkan dapat disokong dengan perubahan sikap dan mentaliti yang ditonjolkan oleh warga kementerian dan golongan sasar.\u201d\nTurut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Chan Foong Hin, Ketua Setiausaha MAFS, YBhg. Dato\u2019 Haslina Abdul Hamid dan pegawai kanan kementerian." "Lakukan Saringan Awal Cegah Kanser Serviks\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Semua wanita berisiko untuk mendapat kanser serviks, namun bergantung pada keadaan. Penyebab utama kanser ini ialah virus melalui jangkitan papilomavirus manusia (HPV). Sebanyak 90 peratus wanita yang terdedah kepada hubungan seksual adalah berisiko tinggi untuk mendapat kanser serviks.\n\u201cKanser serviks ialah kanser ketiga tertinggi dalam kalangan wanita berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pada setiap tahun, didapati lebih kurang 800 kes kanser serviks telah dilaporkan,\u201d ujar Pengarah Bahagian Reproduksi Manusia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), YBrs. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Yusof ketika sesi temu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia, semalam.\nBeliau memaklumkan bahawa saringan utama untuk menangani kanser serviks adalah dengan melakukan ujian pap smear yang perlu dilakukan oleh ahli profesional seperti doktor atau jururawat dengan menggunakan peralatan khas.\nNamun begitu, sejak tahun 2019, terdapat inisiatif baharu bagi menggantikan ujian pap smear, iaitu ujian HPV DNA. Wanita yang melakukan ujian HPV DNA perlu membuat persampelan diri (self-sampling). Para wanita dinasihatkan untuk membuat ujian ini di klinik bagi membolehkan doktor atau jururawat dapat menerangkan cara penggunaan alat ujian tersebut dengan lebih jelas.\nSelain itu, beliau menyatakan bahawa syarat untuk seseorang itu melakukan ujian HPV DNA adalah sama seperti syarat sebelum melakukan ujian pap smear, iaitu tidak melakukan ujian ini ketika kedatangan haid. Selain itu, elakkan melakukan hubungan intim bersama-sama pasangan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum melakukan ujian HPV DNA bagi mengelakkan keputusan yang diperoleh tidak tepat.\n\u201cApabila melakukan ujian HPV DNA, keputusannya dilihat berdasarkan jenis HPV tersebut. Untuk makluman, HPV mempunyai lebih daripada 100 jenis. Walau bagaimanapun, punca utama yang mengakibatkan kanser serviks adalah disebabkan oleh 14 jenis HPV yang menjadi penyumbang kepada 90 peratus terjadinya kanser serviks,\u201d terangnya lagi.\nOleh yang demikian, golongan wanita dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin HPV di klinik atau di LPPKN. Pihak LPPKN juga pernah melakukan program pemberian vaksin HPV, begitu juga dengan KKM yang sedang giat menjalankan program berkaitan dengan kanser serviks.\nVaksin HPV boleh diambil sekali dalam seumur hidup, misalnya wanita itu boleh mengambilnya sebelum melangsungkan perkahwinan. Dos bagi vaksin ini pula bergantung pada jenis vaksin HPV yang diambil.\nMenurut beliau lagi, wanita yang telah membuat saringan biasanya tidak mengalami apa-apa simptom. Antara simptom kanser serviks termasuklah berlakunya pendarahan tanpa henti pada masa yang tidak sepatutnya, berasa sakit ketika melakukan hubungan intim dengan pasangan dan wanita yang telah menopaus mengalami pendarahan.\nVirus HPV boleh hilang dalam tempoh satu tahun hingga dua tahun, namun terdapat juga virus ini yang tidak boleh hilang dan mengakibatkan berlakunya kanser serviks. Oleh sebab itu, dengan adanya ujian HPV DNA,\u00a0 virus tersebut boleh dikesan 10 tahun lebih awal.\nBeliau juga berkongsikan maklumat bahawa\u00a0sebanyak 70 ribu wanita yang telah disaring dalam program kesedaran kanser serviks yang dianjurkan oleh LPPKN setakat ini. Daripada jumlah tersebut, sebanyak lima ribu wanita telah positif HPV DNA dan selebihnya berada pada tahap prakanser dan menghidap kanser serviks. Wanita yang berada pada tahap prakanser akan dirujuk kepada pakar untuk membuat rawatan yang selanjutnya dan peluang untuk pulih adalah tinggi. Oleh sebab inilah pentingnya keperluan membuat saringan awal bagi kanser serviks.\nUntuk makluman, sebanyak 49 buah Klinik Nur Sejahtera LPPKN di seluruh Malaysia. Pelbagai program kesedaran berkaitan dengan kanser serviks juga dianjurkan oleh LPPKN sepanjang Januari 2023. Oleh yang demikian, para wanita digalakkan untuk berjumpa terus dengan doktor di klinik yang berhampiran bagi mendapatkan maklumat tentang kanser serviks.\nPada masa yang sama, LPPKN juga mengadakan program untuk mendekati golongan wanita yang sukar untuk ke klinik bagi mendapatkan rawatan dan sebagainya. Susulan daripada itu, LPPKN membuat program di pusat beli-belah, di kawasan kampung atau di dewan di kawasan tertentu supaya dapat mencapai sasaran yang sebenar bagi mengenal pasti pesakit kanser serviks.\nBulan Januari yang merupakan bulan kesedaran kanser serviks diharapkan dapat memberikan kesedaran kepada golongan wanita untuk membuat saringan awal kanser serviks. Jika saringan awal ini dilakukan, peratusan kes kanser serviks dapat dikurangkan sekali gus meningkatkan peluang untuk menghapuskan jangkitan kanser serviks di negara ini." "Malaysia dan IRENA Sokong Agenda Peralihan Tenaga Serantau\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Malaysia berharap agar Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) terus memberikan sokongan terhadap pertubuhan serantau seperti Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan penubuhan pusat sokongan serantau dipertimbangkan bagi membolehkan sokongan dan kerjasama setempat dalam mempercepatkan usaha peralihan tenaga oleh negara di setiap rantau melalui pembinaan kapasiti dan sokongan teknikal.\nDemikian menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Nik Nazmi Nik Ahmad ketika mengetuai delegasi Malaysia menghadiri Perhimpunan IRENA Sesi ke-13 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu baru-baru ini.\nIRENA ialah agensi antara kerajaan yang memudahkan kerjasama dan menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, manakala Perhimpunan IRENA ialah badan pembuat keputusan tertinggi yang dianggotai oleh wakil dari negara anggota. Ahli IRENA terdiri daripada 168 buah negara termasuklah Malaysia yang menjadi ahlinya pada Disember 2010 selepas mendepositkan instrumen ratifikasi.\nDalam ucapannya juga, YB Nik Nazmi Nik Ahmad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada IRENA kerana menjalankan kajian yang membangunkan Laporan Tinjauan Peralihan Tenaga Malaysia 2050 (METO) untuk menilai semula Perancangan Senario Tenaga Jangka Panjang sedia ada negara. Tujuannya adalah untuk mencapai sasaran tenaga pada masa hadapan yang lebih bercita-cita tinggi. Laporan METO ini dimaklumkan akan dilancarkan pada suku pertama tahun 2023.\nPerhimpunan IRENA dihadiri oleh lebih 1700 perwakilan dari 140 negara anggota yang dipengerusikan oleh India sebagai Presiden Perhimpunan. Keutamaan perbincangan dalam perhimpunan ini adalah membincangkan tindakan kolektif yang mesti diambil oleh negara untuk mempercepatkan proses peralihan tenaga dengan segera dan berada pada landasan dengan matlamat Perjanjian Paris 1.5 Darjah Celsius sambil menjamin peralihan tenaga yang saksama dan inklusif.\nPada masa yang sama, beliau turut berkesempatan bertemu dengan rakan sejawatnya, Menteri Tenaga dan Infrastruktur Emeriah Arab Bersatu, TYT Suhail Mohamed Al Mazrouei dan Menteri Energi dan Sumber Daya Mineral Indonesia, TYT Arifin Tasrif semasa di sana.\nDalam pertemuan tersebut, beliau membincangkan kemungkinan kerjasama dua hala yang boleh diteruskan antara kedua-dua negara serta bertukar-tukar maklumat tentang pelbagai isu berkaitan dengan tenaga termasuklah langkah yang paling berdaya maju dalam peralihan sistem tenaga negara masing-masing." "Semangat Bahasa Jiwa Bangsa Perlu Ada dalam Diri Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2013 Baru-baru ini, YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob berhasrat untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN. Hal ini bertepatan dengan pengertian bahasa Melayu Mahawangsa ataupun bahasa Melayu bahasa besar yang dituturkan oleh lebih kurang 300 juta penutur di Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Thailand, Filipina dan lain-lain negara.\nYBrs. Dr. Kamarul Zaman Haji Yusoff, iaitu Pengarah Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang juga selaku penganalisis politik tersohor menyatakan bahawa dari segi implikasi politik terhadap hasrat YAB Perdana Menteri untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN, ialah wujudnya semangat kerjasama dan perpaduan masyarakat, baik di dalam negeri mahupun dari luar negara dari segi kebahasaan.\nKita tidak perlu ragu-ragu untuk menggunakan bahasa Melayu di persada dunia walaupun ada kritikan oleh sesetengah pihak yang meragui keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN dalam usaha memartabatkan dan mengangkat bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga ada usaha ke arah itu dengan mengadakan simposium bahasa Melayu, jalinan kerjasama kebahasaan daripada pelbagai kaum baik daripada tokoh dari dalam negara dan negara ASEAN seperti negara Indonesia, Kemboja, Filipina, serta luar negara seperti Amerika Syarikat, Jerman, Perancis dan lain-lain. Hal ini membuktikan bahawa di luar negara juga terdapat banyak pusat pengajian yang mempunyai fakulti dan jabatan khusus mengenai bahasa Melayu.\nSelain itu katanya lagi, bahasa Melayu mampu menjadi penyatu pelbagai kelompok yang tidak sealiran dari segi ideologi politik. Pengumuman oleh YAB Perdana Menteri sewaktu mengemukakan cadangan untuk memartabatkan bahasa Melayu tersebut sebenarnya mampu menarik sokongan rakyat di negara ini tanpa mengira parti politik. Masyarakat dilihat begitu teruja dan menyokong usaha pengantarabangsaan bahasa Melayu oleh YAB Perdana Menteri ini. Impak positif yang menggabungkan kekuatan banyak pihak berlatarbelakangkan pelbagai bangsa dan fahaman politik ialah lahirnya masyarakat yang bersatu padu dalam usaha ke arah mengantarabangsakan bahasa Melayu.\nSementara itu, menurut YBrs. Prof. Dr. Tajul Shuhaizam Said, iaitu Pengarah Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, apabila bahasa Melayu diangkat ke peringkat antarabangsa, dari konteks Institut Peradaban Melayu, yang juga berfungsi sebagai institusi penyelidikan dilihat dapat membuka satu ruang yang sangat besar kepada para sarjana yang dapat memberikan ruang kepada bahasa Melayu untuk digunakan dengan begitu meluas dalam bidang ilmu. Hal ini juga memberikan kesan kepada peradaban bangsa.\nApabila bahasa Melayu digunakan di peringkat antarabangsa, bermakna bahawa jaringan kerjasama dalam bidang pendidikan dapat dibuka dengan lebih luas lagi. Semoga lebih banyak penulisan jurnal dan makalah yang diiktiraf daripada korpus yang boleh dirujuk oleh masyarakat antarabangsa dapat dihasilkan. Selain itu, ruang ilmu pendidikan dalam bahasa Melayu juga dapat memberikan peluang kepada pengkomersialan produk penyelidikan yang dihasilkan oleh sarjana Melayu.\n\u00a0\nPandangan ahli panel turut dipersetujui oleh YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, selaku moderator program. Katanya lagi, masyarakat harus mendukung semangat bahasa jiwa bangsa dan tidak seharusnya berasa malu untuk berbahasa Melayu.\nKita perlu mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi pada masa yang sama, kita tidak menolak bahasa asing tetapi diletakkan sebagai nilai tambah. Namun begitu, bahasa Melayu tetap diutamakan yang bertindak sebagai bahasa pencetus jati diri, pencetus tamadun dan pencetus budaya ilmu dan juga untuk mengangkat kearifan setempat yang dilaung-laungkan bagi diperkenalkan di seluruh dunia.\nDemikianlah antara penerangan menarik daripada panel jemputan dalam Rancangan Sembang Tamu: Bahasa Melayu di Persada Dunia Siri 3, bersempena dengan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa, menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP yang bersiaran pada pukul 9.00 malam tadi." "MCMC dan PayNet Lancar Projek Rintis Pembayaran Tanpa Tunai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Projek rintis pembayaran tanpa tunai, Cashless@PEDi telah dilancarkan di 28 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) terpilih di seluruh negara oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet).\nBerdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh MCMC, projek rintis ini bertujuan untuk membudayakan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan masyarakat luar bandar melalui pameran dan aktiviti yang bakal diadakan melalui PEDi.\nProjek dengan kerjasama PayNet yang merupakan pengendali rangkaian pembayaran runcit kebangsaan dan perkongsian infrastruktur berpusat untuk pasaran kewangan Malaysia ini adalah selaras dengan matlamat mempertingkatkan tahap literasi pembayaran digital di bawah Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia.\nKajian cerapan pembayaran digital PayNet 2022 (PayNet Digital Payments Insights Study 2022) mendapati sebanyak 78 peratus rakyat di negara ini masih cenderung menggunakan pembayaran tunai pada tahun 2021, yakni kurang 11 peratus berbanding pada tahun 2020. Namun begitu, trend penggunaan pembayaran tunai kembali meningkat pada tahun 2022, terutamanya di kawasan luar bandar.\nSusulan daripada projek rintis ini yang bermula di PEDi PPR Sri Pantai dan PEDi PA Seri Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Disember lalu, penduduk setempat diberikan pendedahan dengan maklumat dan kelebihan kaedah pembayaran tanpa tunai serta berpeluang untuk menikmati pengalaman berbelanja tanpa tunai melalui pelbagai kaedah e-pembayaran yang dikendalikan oleh PayNet seperti kad debit (MyDebit), JomPay dan DuitNow QR.\nUntuk makluman, kempen Cashless@PEDi diteruskan lagi di PEDi Taman Kelisa dan PEDi Felda Soeharto, Selangor dan diikuti di beberapa PEDi di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor pada bulan ini. Sebelum program ini diperluaskan lagi di PEDi lain di seluruh negara, MCMC dan PayNet akan mengkaji keberkesanan projek rintis yang sedang dilaksanakan dari semasa ke semasa." "Hubung Kait antara Saiz Otot dengan Kekuatan Otot\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKebanyakan orang memulakan latihan hipertrofi, iaitu latihan yang memberikan tumpuan kepada pembinaan otot yang lebih besar kerana ingin memperbaik penampilan. Latihan hipertrofi juga bermaksud latihan bagi meningkatkan saiz fizikal otot.\nNamun demikian, adakah membina otot yang lebih besar boleh menjadikan seseorang itu kelihatan lebih besar, kuat dan sihat? Di sebalik itu juga, sejauh manakah penambahan saiz otot itu diterjemahkan kepada kekuatan otot? Sekiranya seseorang itu mengikuti rutin latihan hipertrofi semata-mata untuk membina jisim otot, adakah saiz otot yang besar itu akan menjadikan seseorang itu lebih kuat? Atau, saiz otot yang bertambah akan menjadikan seseorang itu kelihatan lebih besar tetapi lemah?\nUngkapan jisim otot dan kekuatan otot sering digunakan secara serentak, namun dalam konteks sains senaman dan sukan, setiap satunya mempunyai maksud yang berasingan.\nJisim otot merujuk saiz fizikal otot yang selalunya besar kerana senaman dan latihan hipertrofi yang tertumpu dalam membina jisim otot. Kekuatan otot pula ialah satu daripada komponen kecergasan yang merangkumi daya tahan, fleksibiliti, kuasa dan kelajuan. Kekuatan otot boleh diperoleh melalui latihan kekuatan.\nLatihan kekuatan dan latihan hipertrofi (atau pembinaan otot) kebiasaannya mempunyai matlamat atau hasil yang sama. Latihan kekuatan adalah untuk menjadikan otot lebih kuat, manakala latihan hipertrofi pula adalah untuk mengubah suai fisiologi sel otot untuk menjadikan otot lebih besar.\nOtot yang Lebih Besar ialah Otot yang Lebih Kuat?\nSecara teorinya, otot menghasilkan daya kontraktil untuk menggerakkan beban. Oleh sebab itu, seharusnya seseorang yang mempunyai otot yang lebih besar seharusnya dapat menggerakkan lebih banyak beban.\nSemakin besar sesuatu otot, semakin banyak daya yang boleh dihasilkan. Sebagai contohnya, semakin besar otot biseps seseorang itu, semakin banyak beban yang dapat diangkat oleh otot biseps.\nAdaptasi Kekuatan Otot \nSecara umumnya, terdapat banyak penyesuaian yang berlaku apabila seseorang itu mula melakukan latihan mengangkat beban. Dalam hal ini, penyesuaian saraf telah pun bermula pada saat seseorang itu mengangkat beban.\nPada awal sesi latihan, seseorang itu akan kelihatan agak menggigil dan goyah untuk mengangkat beban, Namun begitu, dengan latihan kekuatan yang berterusan, lama-kelamaan keadaan akan bertambah baik. Hal inilah yang dinamakan pembelajaran motor. Lebih banyak latihan kekuatan yang dilakukan dengan teknik yang betul, lebih baik pembelajaran motor berlaku.\nPembelajaran motor terletak di bawah istilah \u201cadaptasi neuromuskular.\u201c Dalam konteks sains senaman dan sukan, adaptasi ini melibatkan otak, saraf tunjang, dan neuron motor yang juga boleh dianggap sebagai adaptasi sistem saraf pusat. Adaptasi neuromuskular boleh dipengaruhi oleh faktor seperti pengaktifan otot perencatan agonis dan antagonis, pengekodan kadar, koordinasi unit motor dan hipertrofi.\nPengaktifan otot bermaksud seseorang itu perlu membina lebih banyak gentian serat otot untuk menjadi lebih kuat. Apabila lebih banyak gentian serat otot dibina, biasanya akan berlaku peningkatan dalam pengaktifan otot. Lebih banyak gentian serat otot yang dapat diaktifkan, lebih banyak pengeluaran daya dan lebih tinggi daya kekuatan dapat dihasilkan.\nApabila seseorang itu mula mengangkat beban, tindakan itu menghasilkan pergerakan dan/atau daya yang tidak biasa dilakukan oleh badan. Pada masa yang sama, mekanisme perlindungan berlaku, iaitu otot lawan (antagonis) diaktifkan semasa senaman. Pengaktifan antagonis diperlukan untuk mengurangkan risiko kecederaan dengan menyediakan kestabilan sendi dan mengurangkan pengaktifan. Hal ini menjadi satu daripada sebab seseorang itu menjadi lebih kuat.\nMisalnya, pada minggu pertama sesuatu latihan kekuatan, beban seberat 50 kilogram mungkin terasa agak sukar. Walau bagaimanapun, hanya beberapa minggu selepas latihan kekuatan dilakukan, beban 50 kilogram menjadi lebih mudah. Di sinilah berlakunya perencatan agonis atau antagonis kerana otot sudah beradaptasi dengan latihan yang dilakukan.\nPengekodan kadar unit otot juga memainkan peranan dalam peningkatan kekuatan otot. Pernahkah anda cuba mengangkat beban secara perlahan-lahan? Sudah tentu tidak! halaju maksimum hendaklah sentiasa menjadi objektif utama dalam hal ini.\nMenurut kajian, latihan kekuatan mendorong peningkatan yang lebih besar dalam pengekodan kadar yang memainkan peranan dalam adaptasi kekuatan. Pada asasnya, pengekodan kadar unit otot merujuk seberapa cepat neuron motor otot boleh diaktifkan atau secara lebih saintifik, seberapa cepat otot dapat memberikan respons tindakan.\nAdaptasi ini mungkin lebih lazim dengan latihan kuasa atau latihan pecut yang berlaku pada halaju tinggi. Sebahagian besar daripada daya otot dikawal oleh kedua-dua pengambilan unit motor (pengaktifan) dan pengekodan kadar unit otot, namun pengecutan halaju tinggi secara amnya lebih bergantung pada pengekodan kadar unit otot.\nKoordinasi unit motor juga sangat berkaitan dengan pembelajaran motor dan adaptasi kekuatan. Pada dasarnya, koordinasi unit motor membincangkan kumpulan otot dan otot neuromuskular individu yang \u201cbergabung\u201c untuk menghasilkan daya yang akhirnya pergerakan dapat dilakukan.\nJarang-jarang sekali seseorang itu menggunakan hanya satu otot untuk melakukan sesuatu pergerakan, terutamanya apabila melakukan sesuatu pergerakan otot utama di gimnasium. Sebagai contohnya, apabila seseorang melakukan biceps curl, kita bukan sahaja melatih otot biseps, malah otot brakialis, brakioradialis dan kebanyakan otot fleksor yang berada di bawah lengan turut dilatih bersama-sama. Apatah lagi, otot triseps dan bahu yang terlibat dalam menstabilkan lengan atas. Secara keseluruhannya, latihan kekuatan menghasilkan corak koordinasi unit motor yang lebih \u201ccekap\u201c bagi menyokong pergerakan yang lebih selamat dan juga lebih kuat.\nAkhir sekali, pertumbuhan otot (hipertrofi) juga boleh meningkatkan kekuatan. Pertumbuhan otot melalui latihan bebanan melibatkan sebahagian besar myofibrillar hypertrophy yang merujuk penambahan myofibril (protein kontraktil) kepada gentian otot. Hal ini jelas membuktikan bahawa otot yang lebih besar dan peningkatan protein kontraktil juga penting dalam meningkatkan pengeluaran daya. Secara umumnya, terdapat hubungan yang wujud antara hipertrofi dengan kekuatan otot.\nSaiz Otot Bukan Elemen Utama Kekuatan Otot\nWalaupun terdapat hubungan antara hipertrofi dengan kekuatan otot, namun saiz otot bukanlah elemen utama dalam menentukan kekuatan otot. Membina otot yang lebih besar ialah cara yang terbaik untuk mendapatkan kekuatan disebabkan hal tersebut berada dalam kawalan. Namun demikian, genetik juga mempengaruhi betapa mudahnya seseorang itu membina otot dan jumlah otot yang akhirnya boleh dibina. Selain itu, antara elemen yang mempengaruhi kekuatan ialah:\nLebih jauh sisipan otot daripada sendi, lebih baik daya tuil (leverage), lebih banyak berat yang boleh diangkat.\nSemakin panjang anggota badan seseorang, hal ini bermakna semakin \u00a0\u00a0 panjang otot lengan dan semakin teruk daya tuil. Hal ini menjadi penyebab orang yang lebih pendek dengan anggota badan yang lebih gempal selalunya lebih kuat daripada orang yang lebih tinggi, walaupun otot mereka tidak begitu besar.\nFaktor seterusnya yang mempengaruhi kekuatan seseorang ialah komposisi gentian otot. Sesetengah orang dilahirkan dengan otot yang dibina untuk daya tahan, namun terdapat juga individu yang dilahirkan dengan otot yang dibina untuk kekuatan maksimum.\n\nRajah 1 Perbezaan otot\nOtot di sebelah kiri kebanyakannya terdiri daripada gentian otot rangka sentak perlahan. Gentian ini tidak begitu kuat, tetapi mempunyai daya tahan yang kuat. Sementara itu, otot di sebelah kanan pula kebanyakannya terdiri daripada gentian otot rangka sentak cepat. Gentian otot ini kuat dan mudah menguncup, tetapi mempunyai daya tahan yang lemah.\nWalaupun terdapat beberapa faktor genetik yang mempengaruhi kekuatan otot, cara terbaik untuk menjadi lebih kuat adalah dengan membina otot yang lebih besar. Hal tersebut akan membolehkan seseorang itu mendapatkan kekuatan sepenuhnya daripada genetik.\nCara sesoerang itu melakukan latihan kekuatan juga boleh mempengaruhi kekuatan. Latihan lebih berat menjadikan seseorang itu lebih baik untuk mengangkat beban yang lebih berat, manakala mengangkat beban yang lebih ringan tetapi dilakukan dengan set dan berulang boleh memberikan seseorang itu daya tahan otot yang lebih tinggi.\nKebaikan Kekuatan Otot\nLatihan kekuatan telah terbukti memberikan banyak manfaat kesihatan fizikal dan mental seperti yang berikut:\n\u00a0\nDr. Nursyuhada Mohd Sukri, Ketua Jabatan Sukan Prestasi Tinggi, Akademi Kecergasan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia." "Amalkan Gaya Hidup Sihat Elak Serangan Penyakit Jantung\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Gaya hidup sihat merupakan tuntutan kehidupan seorang manusia yang dipraktikkan bukan sekadar untuk menjamin kecergasan badan, malah menjamin kecerdasan akal fikiran seseorang. Menjaga kesihatan jantung adalah satu daripada corak pengamalan gaya hidup sihat.\nDemikian kupasan daripada Ketua Unit dan Pakar Perunding Kanan Kardiologi, Jabatan Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya, YBhg. Profesor Dr. Imran Zainal Abidin ketika menyentuh perihal kesihatan jantung dalam sesi temu bual anjuran Radio Televisyen Malaysia, semalam. Beliau membuka lembaran perkongsiannya dengan menyatakan hubung kait antara tekanan dengan kesihatan jantung.\nDalam sesi temu bual itu, beliau menyatakan bahawa kesihatan mental boleh mempengaruhi kesihatan jantung dan berpaksi kepada pengawalan tekanan darah. Apabila seseorang itu mengalami tekanan yang berlebihan dan berterusan akan menyebabkan peningkatan tekanan darah.\nPada masa yang sama, beliau juga menegaskan bahawa permasalahan kesihatan yang melibatkan tekanan darah adalah hal yang tidak boleh dipandang ringan. Hal ini demikian kerana faktor utama serangan jantung adalah disebabkan oleh tekanan darah.\nMenurutnya lagi, keadaan yang mengundang tekanan dalam diri seseorang adalah apabila seseorang itu tertekan dan banyak berfikir serta dimarahi ataupun memarahi orang lain sekali gus menyebabkan hormon adrenalina di dalam badan meningkat. Oleh sebab itu, apabila seseorang itu sering tertekan, maka hormon adrenalinanya sentiasa tinggi dan mengakibatkan jantungnya berdenyut dengan lebih laju, salur darahnya menjadi lebih sempit dan tekanan darahnya lebih tinggi daripada biasa.\nBeliau juga mengakui bahawa mengawal tekanan adalah suatu perkara yang sukar, terutamanya tekanan yang melibatkan kewangan. Walau bagaimanapun, seseorang itu sangat digalakkan untuk berusaha mengawal tekanan yang dihadapi dengan sebaik-baiknya.\nJelas beliau, sakit dada atau rasa tekanan di dada, terutamanya di bahagian tengah tulang dada adalah satu daripada simptom serangan jantung. Rasa sakit di dada biasanya berlaku serentak dengan keadaan emosi yang terganggu.\nPesakit yang telah dikenal pasti menghidap penyakit jantung seharusnya mempunyai bekalan ubat yang mencukupi, manakala bagi individu yang baru memiliki simptom serangan jantung dinasihatkan agar segera ke klinik atau pusat kesihatan yang berdekatan.\nKebanyakan individu yang berumur di bawah 40 tahun dan mengalami sakit jantung adalah disebabkan oleh tekanan yang tidak terkawal. Apabila tertekan, mereka akan mencari jalan untuk mengurangkan tekanan tersebut termasuklah melakukan sesuatu yang boleh membahayakan kesihatan seperti merokok. Tindakan ini akan menyebabkan risiko tambahan seperti meningkatkan tekanan darah.\nSebelum mengakhiri sesi temu bual tersebut, beliau menyarankan agar setiap individu berusaha untuk mengawal atau mengurus tekanan dengan baik. Beliau juga menegaskan bahawa penerapan gaya hidup sihat fizikal dan mental seharusnya menjadi keutamaan setiap individu." "Pengambilan Vaksinasi COVID-19 Meningkat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kes harian COVID-19 di Malaysia masih kekal di bawah 500 kes sejak pembukaan sempadan negara Republik Rakyat China (RRC) pada 8 Januari 2023 lalu.\nMenurut Menteri Kesihatan Malaysia, YB Dr. Zaliha Mustafa dalam kenyataan medianya hari ini, hanya seorang daripada 28 705 orang pengembara dari RRC yang tiba di Malaysia dikesan mengalami demam semasa saringan COVID-19 dijalankan. Namun begitu, ujian RTK-Ag yang dilakukan terhadap pengembara tersebut adalah negatif. Setakat ini, tiada pengembara dari RRC yang dikesan positif COVID-19 di pintu masuk antarabangsa negara.\nSejak kebelakangan ini, pengambilan dos penggalak kedua di fasiliti kesihatan di seluruh negara berlaku peningkatan. Berbanding pada 1 Januari 2023, pengambilan dos penggalak pertama telah meningkat daripada 49.8 peratus kepada 49.9 peratus. Bagi dos penggalak kedua pula, berlaku peningkatan kepada 2.2 peratus berbanding dengan 1.9 peratus sebelum ini.\nBerdasarkan rekod, pengambilan dos penggalak kedua di Sarawak juga telah meningkat kepada 76 369 dos pada 17 Januari 2023 berbanding dengan jumlah dos sebanyak 56 462 pada 1 Januari 2023 lalu. Hal ini bermakna, jumlah pengambilan dos penggalak kedua di negeri ini telah bertambah 20 kali ganda, yakni sebanyak 2085 dos sehari berbanding 101 dos pada 31 Disember 2022.\nPerkembangan jangkitan COVID-19 di dalam negara dan di luar negara akan terus dipantau oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melalui maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan kerjasama dengan negara ASEAN serta RRC. Langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya juga akan dilaksanakan secara berterusan.\nIndividu yang belum menerima dos primer vaksin dan dos penggalak vaksin COVID-19 dinasihatkan agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin tersebut bagi melindungi diri dan orang tersayang, terutamanya menjelang perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi." "KKM Proaktif Atasi Isu Kesesakan di Jabatan Kecemasan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Peningkatan jumlah pesakit pada setiap hari dan kekurangan tenaga kerja serta fasiliti telah mempengaruhi isu kesesakan di Jabatan Kecemasan. Situasi ini perlu ditangani secara menyeluruh dengan merangka penyelesaian untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang bersama-sama pemegang taruh untuk kesejahteraan rakyat dan sektor kesihatan negara.\nMenurut Menteri Kesihatan Malaysia, YB Dr. Zaliha Mustafa dalam kenyataan medianya hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil inisiatif melalui Program Perubatan, Program Kesihatan Awam dan Program Penyelidikan dan Sokongan Teknikal di bawah Timbalan Ketua Pengarah masing-masing untuk menyemak dan menganalisis data di hospital dan klinik kesihatan. Tindakan ini bertujuan untuk melihat keberkesanan pelaksanaan inisiatif seperti pelanjutan waktu bekerja di fasiliti tertentu.\nPada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa usaha untuk memperkasakan lean healthcare system sedang dipertingkatkan, terutamanya di hospital yang berhadapan dengan masalah kesesakan di Jabatan Kecemasan.\nPelaksanaan short stay ward (wad jangka masa pendek) bagi hospital yang mempunyai ruang telah dilaksanakan di beberapa buah hospital. Kriteria wad ini perlu ditambah baik bagi mengelakkan pesakit menunggu terlalu lama, khususnya di zon kuning. Sistem pengurusan katil pesakit juga terus diperkemas supaya penggunaan katil di hospital dapat dikawal selia dan diuruskan dengan baik.\nTambah beliau, KKM akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan bagi menyelesaikan isu ini dalam jangka masa sederhana dan panjang. Usaha untuk mendapatkan lebih banyak tenaga kerja juga akan terus dilaksanakan.\nSelain itu, bagi memastikan isu kesesakan di Jabatan Kecemasan dapat ditangani dengan berkesan, KKM akan terus melihat model kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, kerajaan negeri, badan bukan kerajaan dan sektor swasta yang semestinya memerlukan dana yang khusus.\nJelas beliau lagi, pelbagai solusi dan intervensi digital dalam perkhidmatan kesihatan telah diperkenalkan di negara lain. Oleh yang demikian, Malaysia perlu menyokong aspirasi ini agar perkhidmatan kesihatan dapat dilaksanakan dengan lebih efisien. KKM akan terus komited dalam menaik taraf sistem teknologi maklumat dan komunikasi sedia ada kepada sistem digital yang berpotensi membantu mengatasi masalah yang wujud.\n\u201cKKM memahami bahawa untuk membina sebuah sistem kesihatan yang kukuh dan lestari bukan usaha bersendirian. Hal ini dikatakan demikian kerana kesihatan adalah milik semua sekali gus menuntut kebersamaan kita dalam usaha ini. Pembangunan Kertas Putih Kesihatan akan merangkumi kesemua perkara ini dan dapat menjana perubahan makro dan mikro dalam mereformasikan sektor kesihatan negara,\u201d ujarnya." "Ahli Astronomi Malaysia dari Seluruh Dunia Berkumpul di GMAC2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Ahli astronomi Malaysia dari dalam dan luar negara telah berkumpul bersama-sama dalam Global Malaysian Astronomers Convention 2023 (GMAC2023) sejak 16 Januari 2023 hingga 18 Januari 2023 yang lalu di Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur untuk membincangkan dan menyumbang idea tentang perkembangan penyelidikan astronomi serta pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di Malaysia.\nBerdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh GMAC2023, saintis di Malaysia yang bekerja dalam bidang astronomi dan astrofizik sangat banyak dan terdapat dalam kalangan mereka adalah sebahagian daripada kerjasama antarabangsa dan berpangkalan di pelbagai organisasi terkemuka antarabangsa seperti Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Princeton University, Oxford University, Max Planck Institute di Jerman, University of Tokyo serta universiti tempatan utama termasuklah Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.\nSelain persidangan tersebut, terdapat juga acara umum lain yang berlangsung di Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Kuala Lumpur yang membolehkan ahli astronomi profesional dapat berinteraksi dengan ahli astronomi muda, pelajar serta orang awam.\nHasil daripada persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu, sebuah pasukan yang dipertanggungjawabkan untuk merangka pelan hala tuju pembangunan penyelidikan dan pendidikan astronomi di Malaysia untuk tempoh lima tahun hingga 10 tahun akan dibentuk.\nSelain itu, hasil persidangan tersebut juga memutuskan perkara lain seperti penyusunan direktori ahli astronomi Malaysia, pembangunan bahan pembelajaran dalam talian dan pembentukan pertubuhan atau pusat astronomi negara yang akan menjadi sebuah pusat yang memfokuskan penyelidikan dan pendidikan astronomi di negara ini.\nMenurut pensyarah dan penyelidik di Australian National University merangkap Pengerusi Jawatankuasa Saintifik GMAC2023, YBrs. Profesor Madya Yuan-Sen Ting, modul pembelajaran astronomi pelbagai bahasa secara dalam talian menerusi FrogAsia akan dilaksanakan. Tambah beliau:\nModul ini dibuat untuk kegunaan pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah serta disediakan secara percuma. Kami berharap agar bidang astronomi ini akan memberikan inspirasi kepada generasi muda supaya dapat membuka minda mereka sekali gus meneroka dunia sains.\nPada masa yang sama, pelbagai pameran berkaitan dengan seni angkasa, peluang pendidikan dalam perubahan iklim, astronomi dan sains teknologi angkasa diadakan sepanjang persidangan ini berlangsung.\nPelaksanaan GMAC2023 pada kali ini ditaja oleh YTL Foundation, FrogAsia dan Autocity Penang. Penganjur juga telah bersama-sama Science Cafe KL yang menjadi tuan rumah bagi sesi secara dalam talian yang melibatkan perkongsian secara langsung dan sesi soal jawab dengan ahli astronomi Malaysia yang bekerja di Amerika Syarikat, Eropah dan Australia." "Sokongan Sosial Penting untuk Menangani Kebimbangan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Selain kesihatan fizikal, kesihatan mental juga seharusnya menjadi keutamaan bagi menjamin keberkesanan dan kelangsungan produktiviti kehidupan seharian\u00a0seseorang. Penyakit kebimbangan ialah satu daripada penyakit mental yang boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja termasuklah kanak-kanak.\nMenurut Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, YBrs. Dr. Nursyuhaidah Mohd Kadri menerusi temu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia semalam, sistem badan manusia apabila berasa terancam ataupun berada dalam situasi tekanan secara semula jadi akan menyebabkan mekanisme pertahanan badan terus memberikan satu isyarat amaran kepada badan.\nTindak balas yang berlaku kadangkala menjadi terlalu aktif. Penyakit kebimbangan ini adalah normal dalam suatu keadaan, misalnya ketika menduduki peperiksaan atau menghadiri temu duga. Seseorang yang berada dalam situasi ini akan berasa normal untuk merasai kebimbangan pada ketika itu. Namun begitu, jika selepas menghadiri temu duga atau menduduki peperiksaan tersebut, kebimbangan itu masih tidak hilang dan berterusan, keadaan ini adalah antara simptom penyakit kebimbangan.\nJelas beliau lagi, simptom lain berkenaan dengan penyakit kebimbangan juga boleh dilihat oleh orang lain melalui fizikalnya. Seseorang yang mengalami penyakit ini biasanya akan berdebar-debar, menggigil atau tangannya menjadi kebas serta mengganggu sistem penghadaman.\nOleh yang demikian, orang awam yang melihat simptom tersebut disarankan agar memberikan pertolongan cemas dengan segera. Beliau menyatakan bahawa terdapat tiga jenis pertolongan cemas awal yang boleh dipraktikkan, iaitu melihat, mendengar dan menghubungkan.\nPada masa yang sama, beliau turut berkongsikan dua faktor utama berlakunya penyakit kebimbangan, iaitu faktor persekitaran dan faktor biologi. Faktor persekitaran merujuk keadaan individu yang terlalu lama terdedah kepada tekanan, trauma dan penggunaan bahan terlarang seperti dadah dan rokok yang boleh meningkatkan risiko untuk menghidap penyakit kebimbangan.\nSeterusnya, faktor biologi merujuk genetik atau individu yang menghidap penyakit kebimbangan ini mempunyai keturunan yang menghidap penyakit yang sama. Selain itu, personalitinya yang sangat pemalu, penakut atau selalu menginginkan kesempurnaan adalah antara punca yang boleh mengundang penyakit ini secara dalaman. Bahkan, terdapat juga masalah kesihatan yang boleh mencetuskan gejala kebimbangan seperti tiroid.\nDalam sesi temu bual itu juga, beliau berkongsikan perihal perkembangan keterbukaan masyarakat pada masa ini yang giat membincangkan hal berkaitan dengan kesedaran kesihatan mental.\n\u201cMelalui penilaian saya, perkembangan tersebut membawa kepada dua keadaan, iaitu mampu meningkatkan kesedaran umum berkenaan dengan kesihatan mental. Namun begitu, kejadian mereka-reka cerita tentang kesihatan mental untuk meraih publisiti seharusnya tidak berlaku. Hal ini dikatakan demikian kerana situasi ini boleh mengundang bahaya,\u201c jelasnya.\nMenurutnya lagi, apabila seseorang itu bukanlah pakar dalam bidang kesihatan mental tetapi mahu mendiagnosis diri sendiri sehingga melakukan rawatan berpandukan maklumat daripada Internet sahaja adalah tidak wajar. Tindakan yang seharusnya dilakukan jika mengalami simptom penyakit kebimbangan ini ialah berjumpa dengan pakar psikiatri untuk mendapatkan rawatan.\n\u201cSegala stigma negatif masyarakat terhadap individu yang menghidap penyakit mental, terutamanya penyakit kebimbangan ini diharapkan dapat dihilangkan dengan serta-merta. Selain mendapatkan rawatan daripada pakar psikiatri, penghidap penyakit ini juga memerlukan sokongan sosial daripada orang di sekelilingnya bagi membolehkan mereka pulih dengan segera,\u201d jelasnya lagi." "Malaysia Bebas Kanser Serviks\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKanser serviks atau dikenali juga sebagai kanser pangkal rahim ialah kanser wanita yang pernah menjadi kanser kedua kekerapannya selepas kanser payudara di Malaysia pada tahun 2016. Terkini, mengikut perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanser serviks ialah kanser keempat di dunia dan yang ketiga di Malaysia bagi wanita pada tahun 2020.\nNamun demikian, selepas kempen secara global dilakukan serta penemuan dan pengenalan vaksin bagi mencegah kanser serviks, kesnya telah berkurang. Oleh hal yang demikian, tidak mustahil dengan perancangan untuk pencegahan dan pengesanan awal bagi kanser serviks, kita mampu menjadikan Malaysia sebagai negara yang bebas daripada kanser serviks.\nKanser serviks berpunca daripada proses mutasi yang berlaku pada lapisan pangkal rahim akibat kekerapan kerosakan sel. Antara punca utama kerosakan sel tersebut termasuklah jangkitan papilomavirus manusia (HPV).\nHPV boleh dijangkiti melalui hubungan kelamin. Antara kumpulan yang berisiko mendapat kanser serviks termasuklah:\nGejala utama seseorang wanita itu disyaki menghidap kanser serviks ialah pendarahan yang keluar dari faraj tanpa disangka-sangka. Hal ini termasuklah pendarahan antara (dan bukan pada) kitaran haid, pendarahan selepas menopaus, pendarahan selepas melakukan hubungan kelamin dan pendarahan haid yang lama daripada biasa.\nSelain tanda pendarahan, satu lagi tanda bahawa seseorang itu berkemungkinan menghidap kanser serviks ialah rasa kesakitan apabila melakukan hubungan kelamin pada bahagian ari-ari atau bawah pusat. Pengeluaran cecair luar jangka melalui faraj seperti keluarnya antara kitaran haid atau selepas menopaus juga adalah antara tanda seseorang itu menghidap kanser serviks.\nSekiranya seseorang itu mempunyai tanda seperti yang dinyatakan, maka mereka perlulah mendapat nasihat doktor yang berkaitan untuk tindakan selanjutnya. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan tidak mengendahkannya, keadaan tersebut akan menyebabkan risiko kanser tersebut terus berkembang dan merebak.\nAntara tanda kanser serviks mungkin berada pada peringkat tinggi atau telah berkembang dan merebak, terutamanya apabila simptom yang dijelaskan sebelum ini dibiarkan adalah kaki mula membengkak, terdapat gangguan pada pundi kencing dan usus serta berlakunya pendarahan apabila membuang air kecil.\nSekiranya seseorang wanita mempunyai tanda seperti di atas, maka dinasihatkan untuk segera membuat janji temu untuk berjumpa dengan doktor perubatan yang mempunyai latihan dalam bidang sakit puan. Semasa pemeriksaan. \u00a0pesakit akan dinilai dengan soalan yang berkaitan, terutamanya risiko kebarangkalian mendapat kanser serviks.\nPesakit juga akan diperiksa untuk memastikan punca utama permasalahan dan hal ini termasuklah melakukan pemeriksaan faraj atau alat sulit. Semasa pemeriksaan ini juga, satu calitan akan dibuat untuk mendapatkan sampel bagi memastikan sel yang diambil berisiko mempunyai sel kanser serviks ataupun tidak.\nSekiranya pesakit dalam keadaan sakit pada kemaluannya untuk diperiksa dengan teliti, maka satu pemeriksaan lengkap berserta bius akan dilaksanakan dan biopsi akan dilakukan pada ketumbuhan sekiranya ada. Hal ini amat penting bagi pakar perubatan mendapat diagnosis yang tepat dan menawarkan rawatan yang berkesan.\nRawatan yang sesuai dan terkini untuk kanser serviks bergantung kepada peringkat atau tahap kanser tersebut apabila pertama sekali dikesan. Pada kebiasaannya, peringkat kanser serviks terbahagi kepada empat yang diperkenalkan oleh International Federation of Gynecology and Obstetrics (FIGO).\nPenetapan tahap kanser serviks antara satu (I) hingga empat (IV) ini bergantung kepada pemeriksaan pelvik yang lengkap dibantu dengan imbasan ultrabunyi serta imbasan tomografi berkomputer (CT) atau tomografi pancaran positron (PET). Doktor di klinik pakar sakit puan juga akan menerangkan akan makna bagi setiap peringkat kanser serta cadangan rawatan yang sesuai.\nRawatan kanser serviks ini pada dasarnya bergantung kepada peringkat FIGO kanser tersebut. Peringkat paling awal, iaitu FIGO IA \u2013 IB2 boleh dirawat melalui pembedahan. Peringkat FIGO IB2 \u2013 IIIC pula perlu dirawat dengan radioterapi dan kemoterapi, manakala peringkat FIGO IV memerlukan rawatan kemoterapi.\nNamun begitu, segala rawatan yang sesuai perlu dibincangkan dengan pakar onkologi kerana terdapat keperluan untuk mengambil kira faktor umur, tahap kecergasan pesakit, penyakit lain yang ada serta kemudahan pesakit mendapat rawatan termasuklah implikasi kewangan kepada pesakit.\nSetelah mengetahui dengan ringkas tentang kanser serviks seperti maklumat di atas, terutamanya berkaitan dengan risiko, tanda dan rawatan, persoalan asalnya ialah bolehkah Malaysia bebas daripada kanser serviks pada suatu hari nanti? Pada pendapat saya, hal ini boleh berlaku kerana dua faktor utama, iaitu pencegahan serta pengesanan awal.\nOleh sebab kita telah mempelajari bahawa pembawa atau risiko utama kanser serviks ialah jangkitan HPV, maka pencegahan daripada mendapat jangkitan virus HPV ini mampu mengurangkan risiko kanser serviks sehingga 70 peratus. Penemuan vaksin untuk HPV pada awal abad ini berserta program anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia yang memperkenalkan program vaksinasi terhadap anak remaja yang berumur 13 tahun mampu menurunkan kadar jangkitan HPV serta kes kanser serviks dengan amat berkesan sekali, iaitu sekitar 50 peratus hingga 70 peratus.\nSelebihnya, komitmen wanita yang sudah mendirikan rumah tangga serta yang aktif melakukan hubungan kelamin untuk melakukan pemeriksaan saringan smer Pap serta saringan HPV. Saringan ini boleh dilakukan oleh semua golongan wanita yang sedang aktif melakukan hubungan kelamin, bermula pada umur 40 tahun dan ke atas atau 10 tahun lebih awal daripada ahli keluarga yang telah mengidap kanser serviks sekiranya ada, di mana-mana fasiliti kerajaan atau swasta.\nDengan gabungan elemen pencegahan melalui vaksinasi terhadap HPV serta pengesanan awal melalui saringan smer Pap Smear dan HPV, saya pasti sekiranya dilakukan dengan menyeluruh, maka impian Malaysia untuk menjadi negara yang bebas daripada kanser serviks mampu dicapai.\nSebagai kesimpulannya, kanser serviks ialah kanser yang telah berubah daripada kanser kedua yang kerap menyerang wanita selepas kanser payudara kepada kanser keempat selepas vaksin serta saringan smer Pap diperkenalkan. Risiko kanser serviks juga berkait rapat dengan jangkitan HPV.\nOleh sebab itu, sebarang aktiviti yang membolehkan jangkitan HPV, terutamanya hubungan kelamin menambahkan risiko jangkitan. Tanda seperti pendarahan serta sakit di bahagian kemaluan perlu dirujuk dengan doktor yang berkaitan dengan segera kerana rawatan yang sesuai dan berkesan mampu menyelamatkan nyawa.\nBagi mencapai matlamat Malaysia bebas kanser serviks, pencegahan serta saringan awal perlu selari dan seiringan. Pencegahan adalah melalui vaksinasi terhadap HPV dan saringan awal melalui pemeriksaan saringan smer Pap dan HPV. Kedua-dua cara tersebut boleh dilakukan di fasiliti kerajaan atau swasta.\nDi samping itu juga, petugas kesihatan di setiap fasiliti bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan yang berminat perlu memainkan peranan dalam memberikan khidmat nasihat dan menjalankan kempen kesedaran kanser serviks dengan memberikan pendedahan akan keperluan serta kepentingan pencegahan serta saringan kesihatan, terutamanya smer Pap bagi memastikan negara kita bebas kanser serviks.\n*Artikel ini disediakan bersempena dengan bulan kesedaran kanser serviks, iaitu pada Januari setiap tahun.\n\u00a0\nDr. Wan Mohd Nazri Wan Zainon ialah Penyelaras Onkologi Klinikal di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan." "Elak Kekeliruan antara Osteoporosis dengan Osteoarthritis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Tulang dan sendi adalah komponen penting yang terdapat di dalam badan manusia yang memainkan peranan dalam pergerakan. Tanpa tulang dan sendi, adalah mustahil untuk manusia bergerak. Oleh sebab itulah, penjagaan kesihatan tulang dan sendi amat dititkberatkan, terutamanya pada usia muda agar apabila seseorang itu memasuki fasa berusia, tulang dan sendi masih mampu berfungsi seperti biasa dan hal tersebut memudahkan seseorang itu menjalani aktiviti sehariannya.\nMenyentuh perihal kesihatan tulang dan sendi, baru-baru ini rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menampilkan Pakar Perunding Ortopedik di UiTM Private Specialist Centre, Dr. Khairul Nizam Rozali untuk berkongsikan perihal penyakit berkaitan dengan tulang dan sendi yang bertajuk \u201cOsteoporosis dan Osteoarthritis: Pelanduk Dua Tak Serupa\u201d.\nBeliau memulakan perkongsiannya dengan menyatakan perkembangan pengetahuan masyarakat di Malaysia tentang istilah perubatan yang saban hari berkembang. Walau bagaimanapun, beliau mendapati bahawa terdapat individu yang belajar dan memahami sesuatu istilah perubatan melalui perkembangan teknologi melalui carian secara dalam talian ataupun media sosial dan tidak merujuk doktor yang betul.\nHal ini mengundang kepada pemahaman perubatan yang salah dalam kalangan pesakit. Misalnya, perbezaan antara istilah osteoporosis dan osteoarthritis. Hal ini benar-benar berlaku dalam kalangan masyarakat, sebagaimana yang saya hadapi sewaktu bertemu dengan pesakit di klinik saya,\nBeliau melanjutkan perkongsiannya dengan menyentuh takrifan sebenar osteoporisis dan osteoarthritis. Menurutnya, walaupun bunyi sebutannya lebih kurang sama, namun kedua-dua penyakit berkenaan adalah berlainan.\nOsteoporosis ialah perkataan yang berasal daripada Greek. Osteo merujuk tulang, manakala porosis ialah laluan atau rongga di dalam tulang. Tulang yang normal seharusnya mempunyai kepadatan tertentu yang ditentukan oleh dua faktor utama, iaitu keporosan dan kekuatan tulang.\nBeliau juga menerangkan bahawa antara langkah awal untuk mendiagnosis penyakit osteoporosis termasuklah dengan ujian sinar-X. Walau bagaimanapun, kaedah tersebut bukanlah cara yang tepat untuk mendiagnosis penyakit osteroposis kerana bersifat kualitatif.\n\u201cOleh sebab itulah, diwujudkan ujian densitometri (kepadatan tulang). Ujiannya sama seperti sinar-X, namun radiasinya lebih rendah, mudah, tidak memerlukan proses mencucuk jarum ke dalam kulit dan pesakit berasa lebih selesa,\u201d jelasnya lagi.\nOsteoarthritis juga berasal perkataan daripada Greek, yakni osteo masih merujuk tulang, manakala arthritis berasal daripada perkataan \u00e1rthron yang bermaksud sendi. Namun demikian, apabila keadan tersebut menjadi penyakit, perkataan tersebut ditambahkan dengan frasa \u201c\u2013itis\u201d.\nTambah beliau lagi, terdapat tiga faktor utama yang menjadi risiko bagi penyakit osteoarthritis, iaitu umur (faktor yang tidak boleh diubah), obesiti dan pekerjaan.\nDalam rancangan ini juga, beliau menegaskan bahawa beliau tidak menolak dan menafikan rawatan tradisional untuk merawat kedua-dua penyakit berkenaan. Menurutnya, masyarakat juga perlu sedar, terutamanya rawatan bagi penyakit seperti osteoarthritis, perubatan moden adalah lebih terperinci dan sistematik berbanding dengan sesetengah rawatan lain seperti rawatan tradisional.\nBeliau menyatakan harapan agar mereka yang menghidap penyakit tulang dan sendi seperti osteoporosis dan osteoarthritis untuk segera berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan. Bagi individu yang berhasrat untuk mencegah penyakit osteoarthritis, mereka boleh bermula dengan mengawal kekerapan penggunaan dan pergerakan kaki.\nSelain itu, beliau menegaskan bahawa jumlah pengambilan kalsium sebagai langkah pencegahan bagi kedua-dua penyakit berkenaan perlulah tepat. Hal ini dikatakan demikian kerana pengambilan kalsium secara tidak terkawal dan berlebihan akan mengakibatkan penyakit batu karang.\n\u201cKehidupan perlu diteruskan. Saya tidak boleh kata disebabkan takut menghidap osteoarthritis, maka seseorang itu tidak mahu melakukan pergerakan menggunakan kaki. Saya bermaksud seseorang itu masih boleh menggunakan kaki seperti biasa, namun kadar kekerapan penggunaannya perlu berhati-hati. Prinsipnya sama seperti menggunakan pen, semakin banyak pen digunakan, semakin banyak dakwat akan berkurangan,\u201d ujarnya menutup perbualan." "Inovasi Pendigitalan Bahan Terbitan DBP Pupuk Kreativiti Pelajar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBatu Pahat \u2013 Jalinan kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mencetuskan sebuah projek rintis yang julung-julung kalinya dilaksanakan, iaitu Pertandingan Inovasi Digital DBP-UTHM 2023. Penjurian akhir bagi projek yang dirintis oleh Bahagian Promosi dan Pengiktirafan (BPI) yang bernaung di bawah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera (JPBS) dengan dukungan Jabatan Multimedia, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), UTHM telah diadakan di Perpustakaan Tunku Tun Aminah, UTHM, hari ini.\nPertandingan yang bertujuan mengasah bakat, kreativiti dan kepintaran para pelajar ini disertai oleh 55 orang peserta dengan 12 kumpulan yang terdiri daripada pelajar Tahun Dua Program Sarjana Muda (Pengkomputeran Multimedia) yang mengambil Kursus Interaksi Manusia Komputer.\nDalam tempoh satu semester sejak 16 Oktober 2022 yang lalu, para peserta perlu membangunkan satu aplikasi mudah alih berasaskan kandungan buku terbitan DBP yang terpilih dan sesuai untuk dialih wahana yang membabitkan dua kategori, iaitu realiti terimbuh (AR) dan permainan digital. \nTerdapat lima buah buku terbitan DBP yang terpilih untuk digunakan dalam pertandingan ini, iaitu Sally Si Salpa, Di Mana Kawan-kawan Tok Bah, Kacip Geraham dan Taring: Karies dan Keradangan Gusi, Batu Belah serta Kacip, Geraham dan Taring.\nBagi setiap kategori yang dipertandingkan, terdapat enam kumpulan peserta dengan bimbingan mentor yang ditentukan secara undian. Antara syarat dan kriteria yang telah ditetapkan termasuklah produk akhir yang dihasilkan adalah dalam bentuk mudah alih dan para peserta perlu menggunakan 100 peratus kandungan asal bahan tanpa mengubah kandungan sebenar.\nMenurut YBrs. Profesor Madya Dr. Noorhaniza Wahid selaku Pengarah Pertandingan Inovasi Digital DBP-UTHM 2023, tujuan utama pertandingan ini diadakan adalah untuk mencungkil bakat digital pelajar.\nPertandingan ini juga adalah selari dengan projek bagi Kursus Interaksi Manusia Komputer yang diikuti oleh para peserta. Segala pencapaian daripada objektif pertandingan ini merupakan pencapaian dan keberhasilan bagi program Pengkomputeran Multimedia dan Kursus Interaksi Manusia Itu sendiri.\nTambah beliau, pihak UTHM sememangnya belum pernah mengadakan pertandingan seumpama ini yang melibatkan agensi luar. Keunikan bagi program ini ialah para pelajar perlu mereka bentuk aplikasi berdasarkan bahan asal buku terbitan DBP.\n\u201cHal ini menjadi satu daripada cabaran yang besar kepada pelajar kerana sebelum ini apabila mereka ingin membangunkan apa-apa projek dan aplikasi, mereka perlu mencari bahan sendiri, namun dalam pertandingan ini, bahan untuk membangunkan aplikasi itu telah ditetapkan,\u201d ujarnya lagi.\nGenerasi kini lebih gemar kepada aplikasi berbentuk didik hibur. Pada masa yang sama, mereka dapat menimba ilmu pengetahuan daripada aplikasi tersebut. Kandungan daripada aplikasi yang dihasilkan ini dapat memberikan manfaat, terutamanya kepada kanak-kanak. Pengaplikasian ilmu digital ini juga menjadi anjakan paradigma yang baik kepada para pelajar untuk mengenal jati diri cerita tradisional misalnya yang dijadikan sebagai bahan untuk membangunkan aplikasi.\nMenjawab persoalan perancangan seterusnya untuk mengadakan lagi pertandingan seumpama ini, beliau menjelaskan bahawa pihak UTHM sememangnya mempunyai perancangan untuk mengadakan lebih banyak pertandingan yang melibatkan pelbagai sukatan pelajaran lain disebabkan oleh keterujaan dan semangat yang diberikan oleh para pelajar yang dapat dilihat pada hari ini.\n\u201cSepertimana masyarakat sedia maklum, pendedahan kepada pendigitalan sememangnya membawa kepada elemen kebaikan dan keburukan. Namun begitu, generasi kini seharusnya bersedia untuk mengangkat pendigitalan ini kerana banyak manfaat yang akan diperoleh, sama ada kepada pelajar ataupun orang awam. Sejajar juga dengan harapan DBP, fokus utama selain mendigitalkan bahan terbitannya, inisiatif ini adalah satu daripada cara untuk memperkasakan bahasa Melayu,\u201d ulasnya lagi.\nSementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Multimedia, FSKTM, UTHM, YBrs. Dr. Che Samihah Che Dalim merangkap mentor kepada satu daripada kumpulan yang bertanding berpandangan bahawa pertandingan seumpama ini telah membantu dirinya untuk membina personaliti pelajar secara menyeluruh.\n\u201cJika di dalam kelas, pengajar bekerja keras untuk membentuk pelajar dengan kualiti tertentu berdasarkan tugasan yang diberikan, namun dengan adanya pertandingan seperti ini, pelajar dapat mengeluarkan semua bakat dan kreativiti yang tidak pernah diperlihatkan apabila berada di dalam kelas,\u201d jelasnya.\nPertandingan pendigitalan ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan. Mungkin pertandingan ini boleh dibuka dengan lebih banyak penyertaan pelajar dan program yang dipertandingkan juga perlu diperbanyakkan. Aras kemahiran pelajar juga boleh ditingkatkan pada peringkat universiti kerana pertandingan yang disertai pada hari ini hanya tertumpu kepada peringkat fakulti dan di Jabatan Multimedia, FSKTM sahaja.\nPenjurian pertandingan ini telah dilakukan dalam dua sesi. Pertama, penjurian yang dilakukan adalah lebih kepada penilaian awal, yakni juri yang dilantik membuat penelitian terhadap kesemua aplikasi yang telah dimuat naik oleh para peserta menerusi pautan yang disediakan. Kedua, penjurian fizikal dilaksanakan bagi menentukan aplikasi yang terbaik untuk memenangi pertandingan tersebut.\nDalam sesi penjurian ini juga, terdapat tiga komponen penting yang dinilai oleh juri, iaitu dari aspek teknikal, komponen estetik dan bahasa. Bagi melengkapkan komponen yang dinilai tersebut, sebanyak tujuh orang juri telah dilantik bagi menilai setiap aplikasi yang dibangunkan oleh para peserta, iaitu dua orang juri daripada industri, tiga orang juri daripada DBP dan dua orang juri lagi daripada UTHM.\nMenurut salah seorang peserta pertandingan ini, Nurzulaikha Iberahim, penyertaannya bersama-sama rakan-rakannya adalah disebabkan oleh dorongan yang diberikan oleh pensyarah mereka. Beliau berpandangan bahawa projek ini ialah satu daripada keperluan untuk mengasah bakat dalam kemahiran digital dan untuk melihat sejauh mana kebolehan diri dan rakan-rakannya dalam menghasilkan sebuah aplikasi digital.\n\u201cUntuk menghasilkan produk akhir ini adalah sangat mencabar kerana perlu disiapkan dalam tempoh yang singkat. Jika diberikan tempoh yang lebih lama, mungkin lebih banyak fungsi boleh dimasukkan dalam aplikasi memandangkan aplikasi yang dibina untuk pertandingan ini hanya menggunakan fungsi yang mudah untuk dimainkan. Saya juga berharap agar saya dapat mencipta lebih banyak permainan yang lebih baik selepas ini,\u201d ujarnya ketika ditemu bual oleh sidang editor Dewan Kosmik.\nSelain membuktikan bahawa penggunaan teknologi boleh dipelbagaikan dalam pengajaran dan pembelajaran, pertandingan ini sememangnya dapat mencungkil bakat dan meningkatkan inovasi serta kreativiti pelajar, terutamanya dalam konsep pendigitalan dan pembangunan aplikasi.\nPertandingan seumpama ini juga diharap akan dapat memberikan inspirasi kepada orang ramai untuk menjadi pencipta teknologi tempatan melalui usaha pembudayaan dan pengaplikasian sains dan teknologi dalam pelbagai sektor yang lebih meluas.\nKredit gambar: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia" "Santun Berbahasa pada Hari Raya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Masyarakat Malaysia acap kali terkeliru dengan ejaan perkataan dalam bahasa Melayu sehingga menyebabkan berlakunya pelbagai kesalahan bahasa. Kebanyakannya juga tidak menyedari bahawa perkataan yang dieja tersebut salah. Dalam usaha membantu menyedarkan, memperbetul kesalahan dan meningkatkan kefahaman masyarakat akan bahasa kebangsaan, Bernama Radio telah menjemput Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Encik Abdul Ghani Abu untuk berkongsi isu yang berkaitannya dalam slot Cakna Bahasa, kelolaan Nazira Noran.\nMenurut\u00a0 Abdul Ghani, kesalahan bahasa pada Hari Raya dapat dilihat dari tiga aspek, iaitu kesalahan ejaan perkataan umum, kesilapan ejaan nama kuih-muih dan kata sapaan atau kata panggilan dalam keluarga. Menurutnya lagi, terdapat beberapa kata umum yang acap kali salah ejaannya ketika digunakan dalam media sosial.\nHari Lebaran atau Hari Lembaran. Lebaran dan lembaran ialah dua perkataan yang berbeza jika merujuknya dalam Kamus Dewan Perdana. Penggunaan yang tepat ialah Hari Lebaran. Menurut Kamus Dewan Perdana, Hari Lebaran bermaksud hari yang dimuliakan dan hari yang dirayakan oleh umat Islam, iaitu pada 1 Syawal. Manakala lembaran pula bermaksud helaian buku atau helaian akhbar.\nTambahnya lagi, kesalahan ejaan perkataan \u201cAidilfitri\u201c juga berlaku. Namun begitu, masih ada yang masih mengejanya secara terpisah. Hari Raya pula yang sebenarnya perlu dieja secara terpisah kerana merupakan dua perkataan yang berbeza. Walau bagaimanapun, masih ada dalam kalangan kita yang mengejanya secara salah, iaitu \u201cHariraya\u201c.\nPenggunaan perkataan \u201csaling\u201c juga acap kali digunakan secara salah oleh masyarakat. Beliau menyatakan bahawa penggunaan perkataan \u201csaling\u201c akan menyebabkan kelewahan atau pembaziran bahasa. Frasa kerja berimbuhan yang digandakan sebenarnya sudah membawa maksud saling. Tidak perlu menggunakan perkataan \u201csaling\u201c sebelum perkataan tersebut agar tidak terjadinya lewah. \u201cSaling\u201c bermaksud secara berbalas-balasan oleh dua pihak.\nTambahnya lagi, banyak orang sering menulis dan menyebut \u201csaling kunjung-mengunjungi\u201c sedangkan itu salah. Sebaliknya, kita hanya perlu menulis \u201csaling mengunjungi\u201c. Contoh kesalahan lain yang selalu digunakan ialah \u201csaling maaf-memaafkan\u201c dan yang sebetulnya ialah \u201csaling bermaafan\u201c.\nPerkataan \u201cbalik kampung\u201c juga sebenarnya salah dan yang betulnya ialah balik ke kampung. Hal ini demikian kerana penggunaan kata sendi \u201cke\u201c perlu dalam situasi tersebut. Kebanyakan orang juga sering menggunakan perkataan \u201cmertua\u201c tetapi penggunaan yang betul dan tepat ialah \u201cmentua\u201c. Antara ejaan perkataan lain yang selalu menimbulkan kekeliruan termasuklah \u201csampin\u201c atau \u201csamping\u201c dan sebutannya yang betul \u201csampin\u201c.\nMenurut beliau, kebanyakan masyarakat juga sering mengeja \u201cnasi impit\u201c tetapi ejaan sebenarnya ialah \u201cnasi himpit\u201c. Perkataan \u201cimpit\u201c tiada dalam Kamus Dewan Perdana, sebaliknya hanya ada perkataan \u201chimpit\u201c yang bermaksud menekan dan menindih hingga mampat. Ada juga yang sering mengeja perkataan \u201csatay\u201c dan \u201csate\u201c, \u201cbaulu\u201c dan bukannya \u201cbahulu\u201c serta \u201csemperit\u201c dan bukannya \u201csemperet\u201c. Ada juga yang menggunakan tanda sempang pada perkataan ketupat-rendang sedangkan penggunaannya itu salah.\nDemikian antara penerangan menarik oleh panel program dan beliau turut berharap agar pengguna bahasa dapat menggunakan bahasa yang betul dan tepat." "Pemenang Pertandingan Inovasi Digital DBP-UTHM 2023 Diumumkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBatu Pahat \u2013 Kumpulan Cak Cak Bum dengan aplikasi digitalnya yang dinamakan AR Batu Belah telah dinobatkan sebagai juara bagi kategori aplikasi realiti terimbuh (AR), manakala kumpulan Pahlawan Laut Dalam yang mempertaruhkan aplikasi digitalnya yang dikenali sebagai Pendekar Lautan telah menjuarai kategori aplikasi permainan digital dalam Pertandingan Inovasi Digital DBP-UTHM 2023.\nMajlis penyampaian hadiah bagi pertandingan ini yang telah diadakan di Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), petang tadi menyaksikan para pemenang membawa pulang wang tunai berjumlah RM1500 berserta sijil penyertaan.\n\u00a0\nDalam ucapan alu-aluan majlis, Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersilan UTHM, YBrs. Profesor Ts. Dr. Norzila Othman yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTHM selaku wakil rasmi Naib Canselor UTHM, beliau sebagai ahli akademik melihat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai sebuah organisasi yang mempunyai pelbagai sumber ilmu, bukan sahaja membantu masyarakat dalam memacu bahasa Melayu ke arah yang lebih tinggi, malah kerjasama yang dilakukan antara DBP dengan UTHM ini adalah suatu yang berlainan daripada kebiasaan.\n\u201cPemikiran para pelajar UTHM bukan sahaja berdasarkan buku yang dibekalkan oleh DBP tetapi mereka mempunyai suatu idea yang lain. Kami sangat mengalu-alukan kerjasama seperti ini diteruskan bagi memperlihatkan fungsi DBP terhadap pihak universiti bukan sekadar pembekal bahan rujukan, malah boleh mengadakan kerjasama dalam pelbagai bentuk yang lain,\u201d jelas beliau.\nMenurutnya lagi, terdapat pelbagai kemudahan yang boleh diguna pakai oleh pihak DBP di FSKTM, terutamanya dalam bidang teknologi maklumat, sains komputer dan multimedia. Beliau juga berpendapat bahawa dengan adanya kerjasama seperti program ini lagi pada masa akan datang, pelbagai manfaat lain akan dapat diperoleh.\nSebelum mengakhiri ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada FSKTM kerana julung-julung kalinya menjayakan hasrat DBP untuk menjalinkan kerjasama melalui pertandingan digital.\nMajlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Inovasi Digital DBP-UTHM 2023 ini telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato\u2019 Paduka Mohammed.\nMenurut beliau, tuntutan kehidupan pada masa ini sememangnya memerlukan kebijaksanaan setiap individu dalam mengadaptasi dan mengoptimumkan penggunaan teknologi selari dengan perkembangan era Revolusi Perindustrian 4.0. Beliau juga mengharapkan bahawa program seperti ini digerakkan di universiti bagi menyebarkan ilmu melalui program digital.\nTambah beliau, pelaksanaan program seumpama ini perlu dikembangkan bagi memberikan peluang kepada pelajar untuk menghasilkan idea baharu walaupun hal itu merupakan suatu tanggungjawab yang berat bagi seorang pelajar.\n\u201cProgram pada hari ini adalah satu daripada program daya kreatif yang perlu dikembangkan oleh para pelajar di universiti. Projek rintis ini diharapkan dapat diteruskan dan dikembangkan dengan melibatkan universiti lain di negeri Johor. Jika mendapat sambutan yang memberangsangkan, program ini boleh dilaksanakan di negeri lain sehinggalah ke peringkat kebangsaan,\u201d ulasnya.\nJelasnya lagi, lima bahan terbitan DBP yang didigitalkan secara umumnya kelihatan mudah, namun para pelajar telah berusaha dan berdaya kreatif untuk menterjemahkan bahan tersebut dengan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya demi mengembangkan bahasa Melayu dalam teknologi.\nOleh yang demikian, beliau menegaskan bahawa hasil kerja yang dilakukan oleh para pelajar dalam pertandingan ini yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya mampu memberikan sumber ekonomi. Hal ini juga membuktikan bahawa bahasa Melayu itu tidak ketinggalan dan perlu diperluaskan seiring dengan fungsinya sebagai bahasa ekonomi, bahasa negara dan bahasa ilmu.\nMengakhiri ucapan perasmian, beliau mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, sama ada daripada pihak UTHM ataupun DBP.\nBerkenaan dengan laporan penjurian pula, Ketua Editor Bahagian Multimedia DBP, Puan Naimah Yusof selaku Ketua Juri Pertandingan Inovasi Digital DBP-UTHM 2023 memaklumkan bahawa secara keseluruhannya para pelajar telah menunjukkan semangat dan komitmen yang tinggi dalam membangunkan aplikasi dalam kedua-dua kategori yang dipertandingkan walaupun dalam tempoh yang terhad. Beliau juga menyarankan agar usaha ini diteruskan bagi menghasilkan produk digital yang lebih baik dan mampu menembusi pasaran negara dan global.\nWalau bagaimanapun, beliau menyatakan terdapat beberapa aspek yang boleh ditambah baik bagi membolehkan aplikasi ini dapat dimanfaatkan secara optimum oleh masyarakat, terutamanya kepada golongan sasar, iaitu golongan kanak-kanak. Penambahbaikan itu lebih menjurus kepada kekonsistenan dan keseragaman antara muka pengguna, penggunaan bahasa yang baik dan istilah yang tepat serta para pelajar disarankan untuk membuat kajian pasaran sebelum mula membangunkan sesuatu aplikasi.\nKajian pasaran ini adalah penting bagi membantu para pelajar dalam menghasilkan aplikasi yang unik dan berbeza dengan aplikasi lain yang telah dibangunkan dan sedia ada dalam pasaran. Melalui cara ini, pelajar akan menjadi lebih kreatif, inovatif dan produktif.\nDi akhir perkongsian laporan penjurian tersebut, beliau mengakui bahawa para peserta yang menyertai pertandingan ini mempunyai potensi besar. Jika tumpuan diberikan secara berfokus, para pelajar ini boleh berada pada tahap yang lebih jauh dalam bidang pendigitalan.\nMajlis ini diakhiri dengan sesi pengumuman pemenang Pertandingan Inovasi Digital DBP-UTHM 2023, diikuti dengan sesi penyampaian sijil penghargaan kepada mentor FSKTM, UTHM serta pertukaran cenderamata antara kedua-dua penganjur pertandingan.\nTurut hadir dalam majlis tersebut ialah Dekan FSKTM, UTHM, YBrs. Ts. Dr. Azizul Azhar Ramli; Pengarah Bahagian Perancangan dan Pembangunan PTTA, UTHM, Puan Siti Afifah Che Ismail; Pengarah Pertandingan Inovasi Digital DBP-UTHM 2023, YBrs. Profesor Madya Dr. Noorhaniza Wahid; Pengarah DBP Wilayah Selatan, Encik Mohd Riduwan Wahab; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Encik Abdul Ghani Abu; barisan juri; barisan pengurusan FSKTM; jawatankuasa pelaksana Pertandingan Inovasi Digital DBP-UTHM 2023; para pelajar; dan tetamu undangan yang lain.\nKEPUTUSAN PERTANDINGAN INOVASI DIGITAL DBP-UTHM 2023 KATEGORI APLIKASI REALITI TERIMBUH\nKEPUTUSAN PERTANDINGAN INOVASI DIGITAL DBP-UTHM 2023 KATEGORI APLIKASI PERMAINAN DIGITAL\nKredit gambar: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia" "Kembang Bugang yang Menawan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKembang bugang atau Clerodendrum calamitosum L. ialah tumbuhan renek daripada famili Lamiaceae (Labiatae). Spesies yang boleh membesar dengan ketinggian antara 2.5 meter hingga tiga meter ini boleh dijumpai di Malaysia dan Indonesia.\nDaun kembang bugang berstruktur ringkas, tersusun secara bertentangan, berbentuk elips hingga bujur, bergerigi di sepanjang tepi daun dengan ukuran antara tiga sentimeter hingga 15 sentimeter panjang dan 1.5 sentimeter hingga lapan sentimeter lebar. Bunga putihnya yang beraroma dengan jambak bunga jenis sim yang terdapat dalam kedudukan aksil. Buahnya pula jenis drup, berbentuk bulat dan berukuran kira-kira lima milimeter hingga lapan milimeter lebar.\nIstilah Clerodendrum berasal daripada perkataan Greek, iaitu kleros yang bermaksud peluang, manakala dendron bermaksud pokok. Perkataan es calamitosum pula membawa maksud merosakkan atau menyebabkan kerugian. Namun begitu, tidak dapat dipastikan mengapa spesies ini dinamakan dengan nama yang sedemikian.\nTerdapat pelbagai nama tempatan atau nama vernakular selain nama dalam bahasa Inggeris bagi spesies ini. Antara nama menarik yang lain bagi spesies tumbuhan ini termasuklah melur susun, kechi beling, kaji beling dan white butterfly.\nPokok kembang bugang ialah pokok yang sangat mudah tumbuh di kawasan tanah rendah tanpa sebarang penjagaan. Satu daripada keistimewaan pokok ini ialah seluruh pokoknya mempunyai potensi atau nilai ubat-ubatan dan telah banyak digunakan dalam perubatan tradisional.\nPertumbuhan pokok kembang bugang juga pantas dan mengambil masa yang sangat cepat untuk berbunga. Sifat ini seumpama spesies pokok tahunan sedangkan pokok kembang bugang ialah spesies pokok perenial. Pokok ini juga sangat sesuai dijadikan tanaman hiasan kerana morfologi bunganya yang cantik dan rimbun.\nYang menariknya, bahagian akar spesies tumbuhan herba ini sering digunakan dalam perubatan tradisional. Antara kegunaan tumbuhan ini termasuklah akarnya boleh digunakan untuk merawat bisa gigitan ular.\nDaun pokok kembang bugang juga boleh dikunyah dan air kunyahan tersebut diminum, manakala hampas daunnya ditampal pada tempat gigitan. Selain itu, daunnya juga boleh direbus dan air rebusan tersebut diminum untuk mengubati penyakit batu karang dan buah pinggang.\nDaunnya juga digunakan untuk menghentikan pendarahan, merawat demam, kencing bernanah, buasir dan gigitan serangga. Bahan kimia yang terkandung dalam spesies tumbuhan ini ialah saponin, flavonoid, polifenol, alkaloid dan kalium. Beberapa rujukan dan kajian terdahulu juga menyebutkan bahawa C. calamitosum mempunyai bahan antidiabetes, anti hipersensitif dan bersifat sedatif.\nAnopheles sp. ialah vektor bagi penyakit malaria dan filariasis. Oleh sebab itu, racun serangga alternatif yang lebih efektif diperlukan bagi mengatasinya. Satu daripada kaedah tersebut ialah dengan menggunakan daun pokok kembang bugang.\nPokok kembang bugang juga mempunyai keupayaan bakteriostatik, yakni mampu melibatkan membasmi bakteria, termasuklah bakteria patogen manusia seperti Enterococcus faecium, Staphylococcus aureus, Klebsiella pneumoniae, Acinetobacter baumannii, Pseudomonas aeruginosa dan beberapa spesies Enterobacter. Aktiviti antibakteria didapati bergantung pada pelarut yang digunakan dalam pengekstrakan, spesies bakteria, kepekatan ekstrak dan bahagian tumbuhan yang digunakan.\nPokok kembang bugang membiak melalui keratan batang. Spesies ini boleh tumbuh di kawasan yang mempunyai pendedahan matahari sekurang-kurangnya empat jam sehari.\nKebersihan peralatan juga amat penting untuk mengelakkan jangkitan semasa keratan batang dilakukan. Keratan batang perlu dicelupkan ke dalam serbuk hormon dengan kedalaman antara 10 sentimeter hingga 15 sentimeter untuk mempercepatkan pertumbuhan akar sebelum proses penanaman. Tumbuhan ini juga memerlukan tanah yang lembap dan harus kerap disiram." "Hanya Ubat Berdaftar Dijamin Berkualiti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nUbat berdaftar didefinisikan sebagai produk farmaseutikal termasuklah suplemen kesihatan dan ubat-ubatan tradisional yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk diimport, dikilangkan atau dijual dalam pasaran Malaysia. Sebelum sesuatu produk ubat mendapat kelulusan pendaftaran, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan menilai kualiti, keberkesanan dan keselamatan produk tersebut.\nAspek kualiti sesuatu produk ubat adalah sangat penting kerana keterjaminan keberkesanan dan keselamatannya bergantung kepada kualiti ubat tersebut. Oleh sebab itu, bagi memastikan ubat-ubatan berdaftar adalah berkualiti, berkesan dan selamat untuk pengguna, NPRA sangat menitikberatkan penilaian kualiti kepada semua produk ubat.\nSatu daripada aspek kualiti yang dinilai oleh NPRA ialah Amalan Pengilangan Baik atau lebih dikenali sebagai Good Manufacturing Practice (GMP).\n\u00a0\nApakah itu Amalan Pengilangan Baik (GMP)?\nGMP ialah sistem yang digunakan untuk memastikan penghasilan ubat-ubatan dijalankan secara konsisten dan terkawal mengikut piawaian kualiti yang telah ditetapkan. Secara umumnya, GMP bertujuan meminimumkan dan mengelakkan risiko yang tidak diingini yang mungkin terhasil semasa proses pengeluaran ubat-ubatan.\nKeperluan GMP merangkumi semua aspek pengilangan \u00e2\u20ac\u201c bermula daripada pengurusan kualiti pengilang, kawalan bahan mentah dan bahan pembungkusan, penyelenggaraan, kebersihan premis dan peralatan, proses pengilangan dan pembungkusan serta kawalan kualiti ke atas produk ubat yang dihasilkan, sistem dokumentasi sehingga latihan dan tahap kebersihan diri pekerja.\nPihak pengilang juga bertanggungjawab memperincikan setiap proses pengilangan dalam dokumen bertulis bagi membuktikan prosedur yang digunakan adalah konsisten dan selaras dengan piawaian GMP. Kawalan dan Keperluan GMP di Malaysia\nPematuhan GMP yang memuaskan menjadi satu daripada keperluan wajib bagi kelulusan pendaftaran produk ubat oleh PBKD. Pematuhan ini adalah tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.\nSemua pengilang produk berdaftar dipantau dan diperiksa secara berkala oleh NPRA. Kekerapan pemeriksaan ditentukan mengikut tahap risiko produk yang dikilangkan serta penarafan pematuhan GMP terkini.\nPenilaian GMP kepada pengilang produk juga melibatkan skop Amalan Pengedaran Baik atau Good Distribution Practice (GDP), iaitu piawaian yang telah ditetapkan bagi prosedur penstoran, pengangkutan dan pengedaran ubat-ubatan berdaftar. Pematuhan kepada piawaian GDP adalah penting bagi memastikan kualiti produk yang dihasilkan terjaga sehingga sampai kepada tangan pengguna.\n\u00a0\nKesan Tidak Mematuhi GMP\nSecara dasarnya, produk ubat yang dihasilkan di premis tanpa status GMP tidak akan mendapat kelulusan pendaftaran di Malaysia. Hal ini terjadi kerana keselamatan, keberkesanan dan kualiti produk yang dihasilkan tidak dapat dijamin lantaran operasi pengilangan yang tidak mengikut ketetapan piawaian GMP.\nTindakan punitif boleh diambil oleh NPRA terhadap pengilang yang tidak mematuhi piawaian GMP. Sebagai contohnya, bagi produk ubat yang telah berdaftar, permohonan pembaharuan pendaftaran tidak akan dibenarkan dan hal ini akan menyebabkan pendaftaran produk tersebut digantung. Terdapat juga situasi yang melibatkan lesen pengilang ditarik balik kerana melanggar pematuhan GMP.\nHasil daripada pemantauan dan pemeriksaan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terdapat juga produk ubat yang berada dalam pasaran dihasilkan di rumah dan semestinya tidak mengikut piawaian GMP. Lazimnya, hal ini dilakukan oleh pengusaha produk yang ingin mengaut keuntungan yang besar dan sanggup membahayakan keselamatan pengguna dengan tidak mengendahkan kualiti produk mereka.\nPengusaha produk perlu bertanggungjawab dan memastikan produk ubat mereka dikilangkan di premis berstatus GMP. Premis tersebut juga perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Bomba dan agensi kerajaan yang berkaitan .\nPengusaha produk ubat-ubatan mempunyai pilihan untuk mengilangkan produk mereka sendiri atau melantik pengilang kontrak untuk mengilangkan produk bagi pihak mereka. Hal ini sebagai galakan kepada pengusaha produk supaya menghasilkan produk di premis yang berstatus GMP. Status GMP yang diperolehi memberikan jaminan bahawa produk yang dihasilkan adalah selamat, berkesan, berkualiti dan seterusnya meningkatkan keyakinan pengguna.\nPengguna pula perlu lebih berhati-hati supaya tidak memilih ubat-ubatan yang tidak berdaftar dan boleh membahayakan kesihatan mereka. Pengguna boleh menyemak status pendaftaran ubat di laman web NPRA dan menghubungi pejabat Cawangan Penguatkuasa Farmasi yang berdekatan untuk membuat aduan terhadap produk ubat-ubatan yang tidak berdaftar.\nSebarang pertanyaan lanjut mengenai ubat-ubatan boleh dikemukakan kepada Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-67-22. Talian dibuka pada setiap Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).\n\u00a0\nNurul Farhana Mohd Sofian, Pegawai Farmasi, Bahagian Regulatori Farmasi Negara." "44 Seksyen Akta Hidupan Liar Berkuat Kuasa Mulai 1 Februari\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebanyak 44 seksyen di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 (Akta A1646) dikuatkuasakan mulai 1 Februari 2023. Penguatkuasaan akta tersebut menyaksikan peningkatan penalti bagi jenayah yang membabitkan hidupan liar termasuklah menyimpan, memburu atau menyeludupnya.\nJabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia dalam satu kenyataan medianya semalam, penalti bagi kesalahan menyeludup hidupan liar perlu ditingkatkan kerana kegiatan haram itu adalah satu daripada kesalahan serius yang menyebabkan hidupan liar terancam, malah dikategorikan sebagai jenayah terancang berskala besar merentasi sempadan dan perlu dihentikan.\nMelalui pindaan itu, kesalahan di bawah Seksyen 71 Akta A1646, iaitu mengimport, mengeksport atau mengeksport semula hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas boleh dikenakan hukuman denda hingga RM1 juta dan dipenjarakan tidak melebihi 15 tahun jika disabitkan kesalahan.\nPeningkatan kadar penalti ini memberikan mesej yang jelas kepada penyeludup agar menyedari kesalahannya dan berhenti daripada menjalankan aktiviti mereka. Selain bersifat mencegah, kenaikan kadar penalti ini juga untuk memastikan hidupan liar terus kekal untuk generasi akan datang. PERHILITAN juga bertekad bagi meneruskan operasi penguatkuasaan bersepadu melalui pelaksanaan Biodiversity Protection and Patrolling Programme (BP3) di seluruh Semenanjung Malaysia seiring dengan penguatkuasaan Akta 716.\nMenerusi BP3, program Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bersama-sama agensi penguatkuasaan lain akan dilaksanakan dan melibatkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan dengan hidupan liar.\nSelain itu, Wildlife Crime Bureau (WCB) yang ditubuhkan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun lalu dapat membantu aktiviti penguatkuasaan Akta A1646 di samping pengukuhan WCB di bawah PERHILITAN yang turut membantu dalam mengukuhkan aktiviti penguatkuasaan akta tersebut bagi konservasi hidupan liar.\nBP3 sudah diperkukuh melalui pelantikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (VAT), orang asli dan orang awam sebagai renjer hidupan liar bagi membantu melaksanakan tugas operasi kawalan sempadan, rondaan dan penguatkuasaan dalam kawasan perlindungan serta hutan simpanan kekal di seluruh Semenanjung Malaysia untuk menangani isu pencerobohan dan pemburuan haram.\nSebarang aduan dan maklumat berkaitan dengan gangguan hidupan liar boleh disalurkan kepada PERHILITAN melalui talian 1-800-88-5151 atau e-aduan dalam laman sesawang PERHILITAN." "Kegagalan Fungsi Buah Pinggang Ganggu Kehidupan Sosial\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebanyak 15 peratus rakyat Malaysia dianggarkan menghidap penyakit buah pinggang pada pelbagai peringkat dan data ini perlu dipandang serius. Hal ini dikatakan demikian kerana kekurangan kesedaran terhadap penjagaan buah pinggang akan mengundang kepada kegagalan fungsi buah pinggang tersebut. Jika buah pinggang seseorang itu mengalami masalah, maka secara tidak langsung akan menjejaskan produktiviti seharian individu tersebut.\nOleh yang demikian, kesedaran terhadap kesihatan dan penjagaan buah pinggang perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat. Menyentuh perihal kesihatan buah pinggang, rancangan Selamat Pagi Malaysia telah menampilkan seorang Pakar Perunding Nefrologi, Jabatan Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya, YBrs. Profesor Madya Wan Ahmad Hafiz Wan Md Adnan bagi mengupas topik \u201cPenyakit Buah Pinggang: Gejala, Peringkat dan Pencegahan\u201d.\nBeliau membuka ruang perkongsiannya dengan memperincikan fungsi utama buah pinggang. Menurut beliau, buah pinggang berfungsi sebagai tempat untuk mengeluarkan bahan perkumuhan.\n\u201cDalam badan manusia, terdapat banyak toksin yang berkumpul dan perlu dikeluarkan. Sekiranya buah pinggang tidak berjaya mengeluarkan air kencing tersebut, maka toksin itu akan meningkat dan menyebabkan kerosakan lain pada buah pinggang,\u201c jelasnya.\nSelain itu, buah pinggang juga berfungsi untuk mengeluarkan air dari dalam badan. Jika buah pinggang tidak berfungsi, maka kandungan air di dalam badan lebih banyak dan berisiko memasuki paru-paru. Terdapat juga fungsi buah pinggang yang lain dan membolehkan seseorang itu menggunakan vitamin D di dalam badan serta meningkatkan kadar hemoglobin.\nPada masa yang sama, beliau menjelaskan bahawa punca utama yang menyebabkan seseorang itu menghidap penyakit buah pinggang adalah dipengaruhi oleh tekanan darah tinggi dan kencing manis.\nPengambilan ubat-ubatan tertentu seperti ubat penahan sakit juga boleh mengundang penyakit buah pinggang, terutamanya bagi golongan yang menghidap penyakit gout dan mendapatkan rawatan suntikan. Pengambilan suntikan tersebut dalam jangka masa panjang boleh mengakibatkan masalah buah pinggang.\nDi samping itu, faktor genetik turut menjadi punca berlakunya penyakit ini. Walau bagaimanapun, faktor genetik berada dalam peratus yang sangat rendah.\nKebanyakan ubat, sama ada ubat-ubatan moden ataupun ubat-ubatan tradisional mempunyai bahan aktif. Bahan aktif ini biasanya mempunyai manfaatnya, namun sudah semestinya berisiko dan memberikan kesan sampingan, misalnya logam berat dalam bahan aktif itu boleh menyebabkan kemudaratan kepada kesihatan buah pinggang.\nBeliau melanjutkan lagi perkongsiannya dengan mengupas perihal jenis penyakit buah pinggang. Menurutnya, sekiranya seseorang itu menghidap penyakit buah pinggang, mereka berisiko memiliki masalah penyakit yang lain, misalnya kencing manis, darah tinggi, keradangan atau mempunyai penyakit autoimun seperti penyakit lupus eritematosus sistemik.\nBeliau juga menyatakan bahawa kaedah untuk mengetahui seseorang itu menghidap penyakit buah pinggang adalah melalui ujian darah dan kaedah imbasan. Kebanyakan individu yang mengalami masalah buah pinggang biasanya tidak mengalami apa-apa simptom sehingga peratusan fungsi buah pinggang mereka kurang daripada 15 peratus atau 10 peratus.\nMengulas lanjut, beliau mencadangkan agar pemeriksaan awal melalui ujian darah dilakukan pada setiap tahun, lebih-lebih lagi bagi golongan yang berisiko tinggi seperti individu yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi atau mempunyai sejarah keluarga yang mengalami masalah buah pinggang.\nGolongan ini perlu melakukan ujian darah setahun sekali atau enam bulan sekali bergantung pada arahan doktor yang merawat. Bagi golongan yang sihat pula, mereka dinasihatkan agar membuat ujian darah dalam tempoh setahun ataupun dua tahun sebagai langkah mencegah penyakit buah pinggang.\nDi akhir perkongsian, beliau menyarankan agar orang ramai bersederhana dalam pemakanan dan golongan yang mengalami masalah buah pinggang seharusnya mengurangkan pengambilan makanan yang mengandungi protein dan potasium." "Pemakaian Topi Keledar Bukan Pilihan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMenurut laporan keselamatan jalan raya yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kemalangan jalan raya telah mengakibatkan kira-kira 1.3 juta kematian di seluruh dunia pada setiap tahun, manakala 20 juta hingga 50 juta orang lagi mengalami kecederaan. Lebih separuh daripada jumlah kematian dan kecederaan ini melibatkan pengguna jalan raya yang berisiko tinggi seperti pejalan kaki, penunggang basikal dan penunggang motosikal bersama-sama penumpang mereka.\nStatistik menunjukkan bahawa golongan muda yang berumur antara lima tahun hingga 29 tahun amat terdedah kepada kemalangan di jalan raya. Kajian oleh WHO juga mendapati bahawa negara membangun melaporkan kadar kecederaan lalu lintas jalan raya yang lebih tinggi, manakala 93 peratus kematian direkodkan di negara berpendapatan rendah dan sederhana.\nHampir 30 peratus daripada jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan berkuasa beroda dua dan tiga seperti motosikal, moped, skuter dan basikal elektrik (e-basikal). Laporan tersebut juga menyatakan bahawa memandu di bawah pengaruh alkohol atau bahan psikoaktif lain menjadi faktor risiko utama bagi kemalangan dan kecederaan di jalan raya.\nDi samping itu, \u00c2\u00a0faktor risiko kedua terbesar berlakunya kemalangan dan kecederaan di jalan raya ialah tidak menggunakan topi keledar motosikal, tali pinggang keledar, dan penahan kanak-kanak (child restraint).\nRentetan itu, WHO telah melancarkan manual yang telah dikemas kini untuk membantu penggubal dasar menamatkan bencana kematian dan kecederaan lalu lintas jalan raya yang melibatkan motosikal dan kenderaan berkuasa dua dan tiga roda. Garis panduan global yang bertajuk Powered Two-and Three-Wheeler Safety: A Road Safety Manual for Decision-Makers and Practitioners ini telah dikeluarkan pada Oktober 2022.\nDi Asia Tenggara, kematian yang melibatkan penunggang dan pembonceng kenderaan beroda dua dan tiga menyumbang sebanyak 43 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian akibat kemalangan jalan raya. Di Thailand dan Kemboja, kematian yang melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang sebanyak 73 peratus dan 74 peratus daripada statistik kematian pada 2016.\nSementara itu, angka rasmi oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman menunjukkan dari tahun awal tahun 2001 hingga Ogos 2021, sebanyak 79 916 pengguna motosikal terbunuh di Malaysia. Sehingga tahun tersebut juga, tujuh daripada 10 kematian di jalan raya melibatkan pengguna motosikal dan hal ini menjadikan Malaysia menghampiri Thailand dalam statistik kadar kematian terburuk di dunia bagi penunggang motosikal.\nDalam satu kajian terhadap pengguna jalan raya oleh penyelidik dari Universiti Monash, pemerhatian yang dilakukan di tujuh lokasi lapangan terpilih di sekitar Lembah Klang mendapati bahawa majoriti penunggang dewasa dan pembonceng memakai topi keledar, namun sebahagian besar daripanya tidak mengikat topi keledar dengan betul. Kajian tersebut juga mendapati hanya 30 peratus kanak-kanak yang membonceng motosikal memakai topi keledar.\nAntara cara yang paling berkesan untuk mengurangkan keterukan dan kecederaan penunggang dan pembonceng motosikal apabila berlakunya kemalangan termasuklah penggunaan topi keledar yang sesuai dan pemakaiannya dengan betul.\nDi Malaysia, undang-undang topi keledar telah diperkenalkan di Malaysia seawal tahun 1973. Undang-undang ini mewajibkan semua pengguna motosikal (termasuklah penunggang dan pembonceng) untuk memakai topi keledar apabila berada di jalan raya. Kompaun maksimum berjumlah RM300 di bawah Kaedah 4, Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973 boleh dikenakan atas kesalahan tidak memakai topi keledar semasa menunggang.\nUndang-undang ini juga mewajibkan topi keledar dipasang dengan selamat serta diikat mengikut cara yang ditetapkan oleh pengeluar topi keledar. Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian bagi kumpulan agama yang memakai penutup kepala seperti pemakaian serban oleh orang Islam atau Sikh.\nPenggunaan topi keledar telah terbukti dapat mengurangkan kebarangkalian kecederaan kepala, muka dan otak dalam kalangan penunggang motosikal. Selain mengurangkan kebarangkalian kecederaan maut dan mencegah kecederaan serius dalam kemalangan, undang-undang pemakaian topi keledar ini dilaksanakan atas sebab yang kukuh.\nAntara sebab utama pemakaian memakai topi keledar semasa menunggang motosikal dan basikal termasuklah:\nPerlindungan Cuaca\nKeadaan cuaca yang buruk boleh mengancam keselamatan apabila menunggang motosikal di jalan raya. Pemakaian topi keledar akan menghalang hujan daripada terkena pada muka dan mata yang akan menyebabkan penunggang mengalihkan perhatian dan menjejaskan penglihatan.\nPengurangan Bunyi Angin\nAngin kencang bukan sahaja boleh mengganggu penunggang dan pembonceng, namun boleh menjejaskan keselamatan. Tanpa topi keledar, angin yang bertiup akan menyebabkan gangguan yang menyakitkan dan mengurangkan keupayaan untuk mendengar suasana yang berlaku di sekeliling. Pendengaran ialah deria yang penting untuk keselamatan motosikal dan topi keledar yang sesuai akan membantu mengekalkannya.\nPerlindungan bagi Rambut Panjang\nBagi penunggang yang berambut panjang, anda mungkin tidak menyedari bahawa rambut itu boleh menjadi risiko kepada keselamatan ketika menunggang motosikal. Sekiranya tidak memakai topi keledar, rambut boleh merebak ke muka yang bukan sahaja menyebabkan ketidakselesaan, malah berpotensi menghalang penglihatan penunggang dan boleh menyebabkan kemalangan.\nMemberikan Teladan yang Baik\nDengan sentiasa memakai topi keledar, anda sebenarnya boleh memberikan impak yang positif kepada penunggang lain, terutamanya bagi golongan muda atau yang baru menceburi gaya hidup bermotosikal. Hal ini adalah penting buat penunggang muda dan baharu untuk memahami bahawa penunggang motosikal yang berpengalaman dan mahir sentiasa memakai topi keledar.\nMemastikan Pandangan yang Jelas\nSelain melindungi muka daripada bendasing seperti ranting, serpihan objek dan serangga semasa anda menunggang motosikal, topi keledar tertentu juga boleh melindungi daripada silau matahari. Banyak topi keledar moden dilengkapi dengan visor, sama ada yang berwarna atau yang menawarkan beberapa jenis perlindungan silau yang lain. Hal ini sekali gus membantu dalam memastikan penglihatan penunggang jelas dan mengelakkan diri daripada berlakunya kemalangan.\nSelain kesusahan dan penderitaan yang dialami disebabkan oleh kecederaan akibat kemalangan jalan raya, mangsa dan keluarga juga terpaksa menanggung beban ekonomi yang berat melalui kos rawatan kecederaan mahupun akibat kehilangan produktiviti mereka yang terkorban atau kurang upaya. Secara amnya, keilatan akibat kemalangan jalan raya memberikan kesan serius kepada ekonomi negara yang menanggung sebanyak tiga peratus daripada keluaran dalam negara kasar tahunan akibatnya.\nPenunggang dan pembonceng motosikal dinasihatkan memakai topi keledar yang mempunyai logo SIRIM dan memastikam tali dipasang serta diikat dengan kemas. Perlu diingatkan bahawa kanak-kanak mempunyai keperluan topi keledar yang khas.\nWalaupun anda boleh membeli pakaian anak anda dengan saiz yang lebih besar daripada yang dipakainya, amalan ini tidak merangkumi pemilihan topi keledar bagi kanak-kanak. Topi keledar haruslah muat dengan sempurna dan hendaklah dipastikan bahawa apabila topi keledar itu diikat dan diketatkan, topi keledar tersebut tidak boleh bergerak dari sisi ke sisi atau dari depan ke belakang. Dahi anak juga hendaklah ditutup dengan betul untuk memastikan bahagian tersebut dilindungi.\n\u00a0\nDr. Suzielah Rahmad ialah mantan pelajar Doktor Falsafah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Profesor Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff ialah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, UKM." "Kesihatan Mental Mempengaruhi Kualiti Hidup Pesakit Kanser\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKaki Bukit \u2013 Program kayuhan berbasikal MAIPs Peduli Khas anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) bersempena dengan Hari Kanser Sedunia yang disambut pada 4 Februari setiap tahun turut diketuai oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Program ini berakhir di pekarangan Masjid Jabal Al A\u2019ala Kampung Melayu Kaki Bukit, petang semalam.\nMenurut Pengarah JKN, YBrs. Dr. Ismuni Bohari dalam sesi taklimat sebelum bermulanya kayuhan, beliau menjelaskan bahawa sistem imunisasi badan pesakit kanser, terutamanya mereka yang sedang menjalani rawatan kemoterapi turut dipengaruhi oleh tahap kesihatan mental.\nKehidupan yang berkualiti merangkumi beberapa komponen penting, terutamanya pemakanan. Setiap individu digalakkan untuk makan makanan yang seimbang. Selain itu,\u00a0 amalan melakukan aktiviti kecergasan, tidak merokok dan tidak minum minuman beralkohol juga mampu mengurangkan risiko penyakit kanser yang biasanya diwarisi secara genetik.\nTambahnya lagi, sambutan Hari Kanser Sedunia memberikan kesedaran akan bahayanya kanser yang semakin meningkat dan langkah pencegahan yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko menghidap penyakit ini. Antara langkah pencegahan yang boleh dilakukan adalah dengan menjalani ujian pengesanan awal untuk kanser prostat dan paru-paru yang lazimnya berlaku dalam kalangan lelaki dan kanser payudara yang sinonim dengan wanita.\nProgram seumpama ini bertujuan untuk memberikan sokongan moral kepada pesakit kanser agar tahap kesihatan mental mereka berada dalam keadaan yang baik. Hal ini adalah penting kerana tahap emosi yang negatif dikhuatiri mempengaruhi keseluruhan sistem imunisasi sekali gus menyebabkan mudarat.\nDalam program itu juga, beliau menyeru agar orang ramai memainkan peranan dalam memberikan sokongan moral kepada penghidap penyakit kanser supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang berkualiti.\nPada masa yang sama, DYTM Raja Muda Perlis merangkap Yang Dipertua MAIPs berkenan singgah menyantuni tiga buah rumah asnaf di sekitar Kampung Melayu Kaki Bukit, iaitu Encik Mohamed Ali Mohad Rosid (77 tahun) yang tinggal bersama-sama lapan orang ahli keluarganya dan Puan Halimah Ibrahim (84 tahun) yang mempunyai masalah kesihatan seperti strok, asma, darah tinggi dan kolesterol. Baginda turut menyantuni Encik Jefri Zain (55 tahun) yang sakit terlantar di samping menanggung seorang sepupunya yang merupakan orang kurang upaya yang turut sakit terlantar. Masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM700, beras dan bahan makanan mentah sumbangan MAIPs daripada baginda.\nTurut hadir mengiringi baginda dalam program tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor." "Pelancaran \u201cPSN Trooperz On The Move\u201d Memberikan Pengalaman Unik kepada Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTanjong Malim\u00a0 \u2013 Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Chang Lih Kang telah melancarkan PSN Trooperz On The Move Pusat Sains Negara (PSN) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak bersempena dengan penganjuran Karnival Sains, Inovasi dan Teknologi (STI) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) baru-baru ini.\nMenurut Pengarah PSN, Mismah Jimbun, dengan adanya PSN Trooperz On The Move ini, PSN akan dapat meluaskan capaian PSN ke seluruh pelosok negara bagi memberikan pengalaman unik tentang pusat sains kepada masyarakat.\nPSN Trooperz On The Move ialah bas pameran PSN yang berkonsepkan amali (hands-on), hearts-on dan berfikir (minds-on) yang telah memulakan misinya sejak tahun 2007. Bas ini dilengkapi dengan 14 bahan pameran interaktif yang bertemakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk memupuk pemikiran kreatif dan inovatif sekali gus merangsang minda ke arah pemikiran saintifik.\nPSN juga diharapkan mampu membetulkan persepsi masyarakat berkaitan dengan sains selain menambah keyakinan masyarakat terhadap kepentingan bidang STI kepada pembangunan Malaysia Madani menerusi bas pemeran yang disediakan.\nTambahnya, objektif lain PSN Trooperz On The Move adalah untuk meningkatkan pengaksesan maklumat sekali gus meningkatkan tahap literasi sains rakyat Malaysia.\nBagi menambah baik perkhidmatan pembudayaan STI negara, PSN telah membangunkan bas pameran ini yang telah siap sepenuhnya pada Oktober 2022. Bas ini membolehkan PSN memenuhi permintaan program dan aktiviti yang semakin meningkat, terutamanya daripada pelbagai sekolah dan dalam kalangan komuniti.\nKredit gambar: Facebook Pusat Sains Negara Kuala Lumpur" "Luka dan Amputasi Komplikasi Lazim Diabetes\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pada tahun 2022, Malaysia menduduki tangga tertinggi di Asia dan kedua tertinggi di dunia bagi carta kes penghidap penyakit diabetes. Pada tahun 2025, dijangkakan sebanyak tujuh juta orang akan menghidapi penyakit diabetes. Menyentuh perihal penyakit diabetes, rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menampilkan Pakar Perunding Ortopedik di UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Dr. Khairul Nizam Rosli bagi membicarakan topik \u201cDiabetes, Luka dan Amputasi\u201d.\nDr. Khairul Nizam Rosli membuka lembaran perkongsiannya dengan statistik anggaran penghidap penyakit diabetes di seluruh dunia. Menurutnya, hampir setiap tahun dianggarkan sebanyak satu juta penduduk dunia menghidap penyakit diabetes dan ulser kaki yang berakhir dengan amputasi (pemotongan sebahagian atau keseluruhan anggota).\nUjarnya lagi, kebanyakan pesakit yang datang ke hospital, kebiasaannya sudah berada pada tahap yang kritikal dan perlu menjalani amputasi.\nBertitik tolak daripada perkara itu, beliau melanjutkan perkongsiannya dengan menjelaskan beberapa simptom awal yang dialami oleh penghidap diabetes supaya masyarakat lebih cakna tentang penyakit diabetes.\nSaya bahagikan kepada dua, iaitu simptom awal dan simptom lewat. Simptom awal biasanya terdiri daripada gejala kerap berasa dahaga, letih dan selalu membuang air kecil. Apabila mengalami simptom awal ini, saya cadangkan supaya segera berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan konsultasi.\nSementara itu, simptom lewat bagi diabetes ialah ulser yang mula kelihatan di kaki.\u00a0 Walaupun tidak mengalami luka fizikal secara sengaja, namun ulser masih berlaku disebabkan oleh kandungan gula dalam darah yang terlalu tinggi dan terdapatnya jangkitan kuman dalam darah atau bakterimia.\nBeliau melanjutkan lagi perkongsiannya dengan mengupas rawatan untuk penghidap diabetes dan tahap keterukan ulser yang disebabkan oleh diabetes.\n\u201cKami akan memeriksa kaki pesakit dan melihat ulser yang ada. Untuk mengakui seseorang itu benar-benar menghidap komplikasi ulser akibat diabetes, kami perlu mengesahkan bahawa pesakit tersebut menghidap diabetes terlebih dahulu. Setelah diperiksa dan didapati tidak menghidap penyakit diabetes, maka ulser yang ada tidak layak untuk definisi itu. Syaratnya, pesakit itu perlu menghidap diabetes dahulu, barulah luka atau ulser itu layak dilabelkan sebagai diabetic foot ulcer,\u201d hurainya mengenai ulser kaki bagi pesakit diabetes.\nBeliau turut menjelaskan bahawa untuk menentukan tahap keterukan ulser bagi penghidap diabetes, hal tersebut boleh ditentukan melalui pemeriksaan klinikal berdasarkan Klasifikasi Wagner yang terbahagi kepada lima tahap (gred 0 hingga gred 5). Selain itu, terdapat juga pemeriksaan salur darah di bahagian kaki yang dikenali sebagai ankle-brachial systolic index (ABSI).\n\u201cPegawai perubatan akan memeriksa pembuluh darah di bahagian kaki dan tekanan darah di bahagian lengan dan kaki. Kalau pembuluh darah itu sempit, maka kecenderungan untuk mendapat komplikasi ulser adalah lebih tinggi\u201d, jelasnya.\nSementara itu, terdapat juga ujian bagi mengenal pasti tahap kehilangan deria rasa\u00a0 melalui ujian monofilamen. Ujian ini menggunakan dawai nipis yang tumpul dan mempunyai gred tekanan yang telah ditetapkan untuk dicucukkan ke 10 titik yang telah ditetapkan di bahagian kaki. Individu yang sihat akan memperoleh 10 markah, yakni merasai semua 10 titik yang telah dicucuk.\nBagi pesakit diabetes yang telah kekurangan deria rasa, kebiasaannya skor yang diperoleh ialah lapan dan ke bawah. Yang lebih teruk, terdapat pesakit yang memperoleh skor sebanyak lima dan ke bawah. Hal ini menjadikan kecenderungan pesakit tersebut untuk mendapat ulser adalah lebih tinggi.\nMenurutnya lagi, terdapat dua rawatan yang digunakan untuk pesakit yang disahkan menghidap komplikasi ulser yang disebabkan oleh diabetes, iaitu rawatan pembedahan (amputasi) dan rawatan konservatif melalui pemberian antibiotik, pembunuh kuman dan sebagainya.\nBeliau juga menegaskan bahawa proses pemotongan kaki atau amputasi mempunyai jenis ketinggian pemotongan yang telah ditetapkan dan tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya.\nPegawai Perubatan Ortopedik akan menentukan paras amputasi dan hal tersebut dilakukan bukan sekadar melalui penilaian terhadap luka yang dialami. Misalnya, kulit luar pesakit kelihatan cantik, namun melalui ujian X-ray didapati bahawa tulang pada bahagian dalam sudah rosak. Jadi, tiada gunanya untuk dipotong pada bahagian hujung sahaja. Akhirnya, pesakit akan datang semula dan amputasi kedua harus dilakukan.\n\u201cDalam situasi kedua misalnya, luka hanya terdapat di hujung kaki. Namun begitu, ujian ABSI mendapati bahawa pembuluh darah di bahagian lutut belakang sudah terlampau sempit dan perjalanan darah tidak akan baik. Hal tersebut amatlah merisikokan dan pada tahap tersebut, apa-apa kuman yang menjangkiti, tidak akan membawa kebaikan. Oleh hal yang demikian, kami menetapkan agar pemotongan anggota bermula di bawah lutut,\u201d jelasnya lanjut.\nPada akhir sesi temu bual, beliau menegaskan bahawa saiz fizikal seseorang bukanlah penentu kepada kecenderungan untuk menghidap penyakit diabetes. Menurutnya, baik individu yang berbadan gemuk ataupun yang kurus, kedua-duanya cenderung untuk menghidap penyakit diabetes. Beliau turut menyatakan harapan agar penghidap diabetes tidak melengah-lengahkan masa untuk mendapatkan pemeriksaan awal sebelum keadaan menjadi lebih melarat." "Hospital Tuanku Fauziah Cipta Nama Jadi Pusat Peperiksaan Bertaraf Antarabangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar telah mengharumkan nama negara kerana berjaya dipilih oleh \u2018The Royal College of Physicians Ireland (RCPI)\u2019 sebagai Pusat Peperiksaan Antarabangsa Peringkat Pascasiswazah dalam Perubatan Dalaman yang pertama di utara Malaysia. Sijil pengiktirafan sebagai pusat pelaksanaan peperiksaan tersebut telah dipersembahkan kepada Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil oleh wakil RPCI, iaitu Dr. Geoff Chadwick selaku Ketua Pemeriksa Antarabangsa dan Sinead Freeeman, Pengurus Peperiksaan Antarabangsa dalam satu majlis yang diadakan di Galeri DiRaja Arau.\nMenurut wakil bagi Asia Tenggara merangkap Penasihat RCPI negara, Datuk Seri Prof.\u00a0 Dr. Paras Doshi, berikutan pengiktirafan yang istimewa ini HTF Kangar kini sudah layak diiktiraf sebagai salah sebuah tempat khas, iaitu Pusat Peperiksaan Antarabangsa di dunia selain di negara Timur Tengah. Jelas beliau lagi;\nPeperiksaan antarabangsa yang bermutu tinggi ini merupakan langkah yang terakhir sebelum seseorang calon itu akan bergelar pakar perubatan dan piawaian sebegini amat diperlukan bagi sesebuah pusat tertentu untuk melaksanakan peperiksaan ini.\u00a0 Sekali gus perkara ini membuktikan pengendalian kualiti para pesakit dan organisasi Jabatan Perubatan di HTF menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Pengiktirafan ini amatlah sukar diperolehi disebabkan tahap piawaiannya yang sangat ketat.\nKejayaan ini merupakan bukti yang jelas bahawa di bawah teraju Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda, keunggulan boleh dicapai di Perlis. Pada pandangan RCPI, komitmen dan keyakinan yang dibuktikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan Hospital Tuanku Fauziah di bawah naungan baginda berdua ialah faktor yang penting dalam penganugerahan kehormatan tersebut.\nPerlis akan menjadi tumpuan negara serta di arena antarabangsa apabila semua calon peperiksaan\u00a0 dalam dan luar negara serta para pemeriksa yang terkenal akan datang ke HTF.\nPersediaan dan pelbagai aktiviti serta perkongsian yang akan dilaksanakan oleh pihak HTF dan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis bagi menjadikan negeri ini sebagai hab\u00a0 dan seterusnya mengangkat sektor kesihatan ke peringkat yang lebih tinggi sedang dipergiat semaksimum mungkin." "\u201cSukacita\u201c dan \u201cDukacita\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nMengapakah perkataan \u201cdukacita\u201c dan \u201csukacita\u201c dikatakan bukan kata majmuk?\n\u00a0\nDaripada:\nJasmi Mohammad,\nSolok Duku, Masjid Tanah." "KPKT Lancar Inisiatif Hijau Cameron Highlands bagi Merawat Sisa Organik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCameron Highlands \u2013 Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui agensinya Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah melancarkan Inisiatif Hijau Cameron Highlands bagi merawat sisa organik daripada dibuang ke tapak pelupusan, iaitu dengan menukarkan sisa sayur-sayuran dan makanan kepada baja kompos.\nTimbalan Menterinya, YB Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, \u201cInisiatif Hijau Cameron Highlands ialah inisiatif khas yang dilaksanakan di kawasan peranginan itu dan bakal memberikan manfaat kepada penduduk setempat.\u201d\nTambah beliau, lima fokus utama akan diberikan tumpuan melalui inisiatif ini, iaitu kesedaran terhadap alam sekitar, kelestarian alam sekitar, ekonomi kitaran, waste to wealth dan penggunaan teknologi terkini.\n\u201cSWCorp sudah pun bekerjasama dengan Japan International Cooperation Agency (JICA) melalui Kerajaan Tempatan Bandar Kitakyushu sejak Ogos 2015 bagi melaksanakan penambahbaikan pengurusan sisa pepejal dalam menjayakan projek pengkomposan sisa organik di Cameron Highlands,\u201d katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Inisiatif Hijau Cameron Highlands baru-baru ini.\nKatanya lagi, pihak JICA juga memberikan sumbangan berbentuk dua unit mesin kompos berkapasiti dua tan sehari bagi pelaksanaan projek ini di Cameron Highlands bermula tahun 2019.\nSepanjang projek ini dijalankan, dianggarkan sebanyak 804 tan metrik sisa organik sudah dikutip di kawasan Cameron Highlands. Bagi penghasilan produk akhir baja kompos pula, sebanyak 75 tan metrik baja kompos terhasil daripada aktiviti pengkomposan sisa organik dan sisa makanan tersebut./\nMenurut beliau, SWCorp turut menjalinkan kerjasama strategik bersama-sama Persatuan Hotel Malaysia (Pahang Chapter) dan Pertubuhan Peladang Kawasan Cameron Highlands (PPK Cameron Highlands) melibatkan pengumpulan sisa makanan dari pelbagai hotel di sekitar Cameron Highlands serta sisa organik dari kebun sayur-sayuran di bawah penjagaan PPK Cameron Highlands selain beberapa agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam projek ini.\n\u201cFokus utama KPKT melalui SWCorp adalah untuk mencapai kadar 40 peratus sisa dilencongkan daripada tapak pelupusan pada tahun 2030, iaitu mengurangkan penjanaan sisa secara signifikan melalui pencegahan, pengurangan, kitar semula dan penggunaan semula.\u201d\nPada masa yang sama, beliau juga berharap agar Malaysia dapat mencapai kadar 45 peratus pengurangan jejak karbon menjelang tahun 2030 melalui pelaksanaan inisiatif hijau ini.\nMajlis Perasmian Inisiatif Hijau Cameron Highlands turut disiarkan secara langsung dan boleh ditonton menerusi Facebook rasmi SWCorp." "Gempa Bumi yang Menggegarkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGempa bumi ialah pergerakan mengejut permukaaan bumi yang disebabkan oleh pergerakan batuan di sepanjang garis sesar atau atas persempadanan plat tektonik. Garis sesar ialah rekahan atau zon rekahan pada batuan atau permukaan bumi yang telah mengalami pergeseran akibat pergerakan antara dua blok yang mempunyai arah pergerakan yang berlainan.\nSesar boleh dibahagikan kepada tiga kelompok utama, iaitu sesar normal, sesar songsang dan sesar mendatar. Sesar normal terjadi apabila dinding tergantung (hanging wall) relatif bergerak ke bawah terhadap foot wall, manakala sesar songsang berlaku apabila dinding tergantung relatif bergerak naik terhadap foot wall. Sesar mendatar pula merujuk pergerakan antara dua blok pada arah yang berlainan secara mendatar.\nPlat tektonik ialah segmen keras\u00a0kerak bumi yang disokong oleh bahan leburan yang dikenali sebagai\u00a0magma di bawahnya. Disebabkan ini, plat tektonik bebas untuk menggelongsor antara satu sama lain.\nPergerakan antara plat tektonik tidak berlaku secara perlahan-lahan, sebaliknya pergeseran antara tanah dengan batu yang membentuk sempadan plat tektonik ini menyebabkan pergeseran itu berlaku secara tersentak-sentak. Pergerakan inilah yang menyebabkan berlakunya gempa bumi dan mengakibatkan daratan dan dasar lautan secara perlahan-lahan dibawa ke arah kedudukan baharu.\nSempadan plat ditandakan melalui lingkaran gempa bumi dan rangkaian gunung berapi. Antara plat utama yang melitupi seluruh kerak sfera bumi termasuklah Plat Afrika, Plat Antartika, Plat Indo-Australia, Plat Eurasia (meliputi Asia dan Eropah), Plat Amerika Utara (meliputi Amerika Utara dan Siberia timur laut), Plat Amerika Selatan dan Plat Pasifik. Di samping aktiviti pergerakan batuan, gempa bumi juga boleh terjadi akibat aktiviti gunung berapi.\nTerdapat beberapa kaedah untuk mengukur ciri tertentu bagi kejadian gempa bumi, iaitu magnitud dan intensiti. Magnitud ialah ukuran kekuatan gempa bumi secara relatif berdasarkan rekod pergerakan maksimum seismograf, iaitu alat untuk merakam dan mengukur kekuatan gempa bumi. Semakin besar saiz kekuatan gempa bumi, semakin besar kemusnahan yang dibawa.\nIntensiti pula ialah nombor bagi menjelaskan kesan sesuatu gempa bumi di permukaan bumi terhadap manusia, struktur binaan atau bangunan dan alam sekitar. Nombor yang digunakan ialah angka roman.\nIntensiti gempa bumi diukur berdasarkan Skala Modified Mercally Intensity (MMI). Skala MMI dibangunkan oleh ahli seismologi, Harry Wood dan Frank Neumann pada tahun 1931. Skala MMI dipengaruhi oleh faktor magnitud gempa bumi, faktor jarak dari pusat gempa dan keadaan geologi.\nSkala MMI juga merujuk reaksi utama seperti manusia terjaga daripada tidur, pergerakan perabot, keretakan pada struktur dinding hinggalah kerosakan yang menyeluruh. Yang berikut ialah skala MMI bagi gempa bumi:\nIntensiti I \u2013 Gegaran tidak dirasai kecuali dalam keadaan tertentu oleh beberapa orang.\nIntensiti II \u2013 Gegaran dirasakan oleh beberapa orang sahaja yang berada dalam keadaan pegun, terutamanya di tingkat atas bangunan tinggi. Objek ringan yang bergantungan akan bergoyang atau berayun.\nIntensiti III \u2013 Gegaran dirasai nyata di dalam rumah atau bangunan tetapi tidak disedari sebagai getaran gempa bumi. Getaran seolah-olah seperti sebuah trak ringan bergerak dan jangka masa getaran boleh dianggarkan.\nIntensiti IV \u2013 Gegaran dirasakan oleh ramai orang pada waktu siang dan malam, gegaran boleh menyebabkan beberapa orang terbangun. Tingkap, pintu dan pinggan mangkuk bergetar. Dinding kayu dan rangka bangunan berbunyi. Getaran seolah-olah seperti sebuah trak berat menghentam dinding.\nIntensiti V \u2013 Gegaran dirasakan oleh hampir kebanyakan penduduk. Orang yang tidur boleh terjaga. Objek yang tidak stabil berubah tempat. Pintu berayun, terbuka dan tertutup. Bidai, bingkai gambar dan pokok bergoyang.\nIntensiti VI \u2013 Gegaran dirasakan oleh semua penduduk. Kebanyakan orang terkejut dan berlari keluar dari bangunan. Berjalan dalam keadaan yang tidak stabil. Perabot bergerak dan berubah tempat, siling dan dinding retak. Kerosakan ringan berlaku.\nIntensiti VII \u2013 Semua orang keluar dari rumah. Kerosakan ringan pada rumah dan bangunan yang dibina dengan struktur yang baik tetapi pada bangunan dengan struktur yang kurang baik akan terjadinya keretakan. Gegaran dirasai oleh orang yang menaiki kenderaan.\nIntensiti VIII \u2013 Kerosakan pada bangunan yang mempunyai struktur yang kuat. Keretakan pada bangunan yang mempunyai struktur kurang baik. Dinding panel terkeluar daripada struktur rangka. Serombong dan monumen roboh. Air perigi atau kolam menjadi keruh. Orang yang menaiki kenderaan terganggu.\nIntensiti IX \u2013 Kerosakan pada bangunan yang mempunyai struktur kuat. Rangka rumah menjadi tidak lurus dan banyak yang retak. Bangunan dan rumah berganjak dari lokasinya. Paip bawah tanah pecah.\nIntensiti X \u2013 Kerosakan pada bangunan yang berstruktur kayu. Rangka bangunan dan rumah musnah. Terjadi rekahan di dalam tanah. Rel di landasan rosak. Tanah runtuh di kawasan yang curam dan berdekatan sungai.\nLingkaran Asia Pasifik ialah zon gempa bumi dunia. Hampir 90 peratus kejadian gempa bumi dunia berlaku di zon Lingkaran Api Pasifik. Tiada saintis mahupun agensi dalam dan luar negara dapat meramalkan kejadian gempa bumi. Gempa bumi juga tidak boleh dihalang atau dihenti.\nMalaysia juga tidak terkecuali daripada ancaman gempa bumi. Malaysia telah merekodkan beberapa kejadian gempa bumi tempatan dan turut diancam gegaran akibat gempa bumi serantau. Gempa bumi kuat dengan magnitud 6.0 pernah berlaku di Ranau, Sabah pada 5 Jun 2015.\nSelain itu, kedudukan Malaysia yang terletak berhampiran dengan dua sempadan pertembungan kepingan yang aktif keseismikannya, iaitu sempadan pertembungan antara Kepingan Indo-Australian dengan Kepingan Eurasian di sebelah barat dan sempadan pertembungan antara Kepingan Eurasian dengan Kepingan Laut Filipina di sebelah timur menyebabkan gegaran gempa bumi bermagnitud besar yang berpusat di sempadan pertembungan kepingan tersebut turut dirasai gegarannya di Malaysia.\nGegaran gempa bumi yang dirasai di pantai barat Semenanjung Malaysia adalah berpunca daripada gempa bumi bermagnitud besar yang berpusat di Sumatera dan Laut Andaman. Semenanjung Malaysia seperti di Bukit Tinggi, Jerantut, Temenggor, Kuala Pilah dan Malaysia Timur juga turut mengalami gempa bumi tempatan. Gempa bumi tempatan ini disebabkan wujudnya gelinciran atau garis sesar aktif di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.\nBeberapa potensi garis sesar aktif yang telah dikenal pasti dilihat mempunyai hubungan dengan sesetengah kewujudan gempa bumi tempatan ini. Selain ancaman gempa bumi tempatan, Malaysia Timur juga terdedah kepada ancaman gegaran akibat gempa bumi yang berlaku di Filipina Selatan dan Sulawesi Utara.\nAncaman terbesar gempa bumi ialah kesan gegaran terhadap ketahanan struktur binaan buatan manusia. Runtuhan dan kerosakan struktur ini boleh menyebabkan kecederaan dan kematian. Mengimbau kembali impak gempa bumi yang berlaku di Ranau, Sabah lapan tahun lalu, 18 orang telah terkorban dengan kesemuanya direkodkan berlaku di Gunung Kinabalu.\nGegaran yang direkodkan berlaku sekitar 30 saat itu turut menyebabkan beberapa infrastruktur termasuklah 23 buah sekolah di enam buah daerah mengalami kerosakan. Rumah penginapan yang berhampiran dengan puncak gunung Kinabalu dan Masjid Besar Ranau antara yang mengalami kerosakan teruk. Gangguan bekalan air turut berlaku di Kundasang dan Ranau apabila beberapa batang paip dilaporkan pecah dan beberapa buah loji tadahan air turut mengalami kerosakan dan kebocoran pada tangki simpanan air.\nBegitu jugalah situasi gempa bumi yang berlaku di wilayah Kahramanmaras, di selatan Turkiye, pada Isnin, 6 Januari lalu yang dianggap sebagai gempa bumi paling kuat sejak 1939. Lebih enam ribu struktur binaan runtuh dan berpuluh-puluh ribu orang telah terkorban setakat ini. Hingga kini, dilaporkan lebih 13 juta orang turut terjejas akibat gempa bumi yang berlaku.\nBeberapa negara di rantau itu seperti Syria dan Lubnan dilaporkan turut merasai gegaran yang kuat dalam tempoh kurang 10 jam selepas gempa bumi itu berlaku. Sebagai rekod, gempa bumi yang paling kuat dicatatkan dalam sejarah adalah pada magnitud 9.5 yang pernah menggegarkan Chile pada tahun 1960. Empat tahun kemudian, gempa bumi dengan magnitud 9.1 pula melanda negeri Alaska, Amerika Syarikat. Tohoku di Jepun juga digegarkan dengan gempa bumi berukuran 9 skala Richter pada tahun 2011." "Waspada Produk Kosmetik Beracun dalam Pasaran\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dua produk kosmetik telah dikenal pasti mengandungi racun berjadual (merkuri) oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), iaitu produk Karisma Turmeric Booster Cream dan Flashhskinzz Treatment Cream. NPRA ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk berkenaan bagi menghindari kesan sampingan yang memudaratkan.\nOleh yang demikian, Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM telah membatalkan notifikasi produk kosmetik tersebut dan kedua-dua produk ini tidak dibenarkan untuk dijual di Malaysia.\nMenurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Seri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan media, merkuri boleh diserap masuk ke dalam badan dan mampu merosakkan buah pinggang serta sistem saraf.\nSelain itu, bahan beracun ini juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil ataupun yang belum dilahirkan. Pada masa yang sama, merkuri juga boleh mengakibatkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.\nPenjualan dan pengedaran kedua-dua produk ini hendaklah dihentikan dengan serta-merta kerana telah melanggar Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.\nMenurut beliau, hukuman denda tidak melebihi RM25 000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan kepada individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini bagi kesalahan pertama, manakala hukuman denda tidak melebihi RM50 000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dikenakan terhadap individu yang melakukan kesalahan berikutnya.\nSementara itu, bagi syarikat yang melakukan kesalahan ini pula boleh dikenakan denda hingga RM50 000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100 000 untuk kesalahan yang seterusnya.\nOrang awam yang menggunakan produk ini dinasihatkan agar menghentikan penggunaannya serta-merta. Dapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan dengan segera jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.\nBagi memastikan keselamatan penggunaan sesuatu produk itu, orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi produk yang ingin digunakan melalui laman sesawang rasmi NPRA atau menerusi aplikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store." "Pertanian Pintar Menggunakan Teknologi Internet Benda Diperkenalkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAlor Star \u2013\u00a0 Makmal MCMC-UUM MakerSpace, Pusat Pengajian Pengkomputeran, Universiti Utara Malaysia (UUM) terlibat dengan pembangunan aplikasi Internet benda (IoT) di Sekolah Kebangsaan Telaga Mas, Pokok Sena, Kedah baru-baru ini.\nFelow Makmal MCMC-UUM MakerSpace, Suwannit Chareen Chit Sop Chit berkata, \u201cDalam projek ini, kami membangunkan aplikasi penyiraman sayur-sayuran yang dikawal dengan menggunakan telefon bimbit. Pembangunan projek ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan kesedaran berkaitan dengan teknologi IoT kepada warga SK Telaga Mas, khususnya guru dan pelajar tahap dua di sekolah tersebut.\u201d\n\u201cKini, warga SK Telaga Mas tidak perlu datang ke sekolah untuk menyiram sayur-sayuran seperti cili, bendi dan terung secara fizikal tetapi dapat mengawal penyiraman terus dari rumah melalui sambungan Internet,\u201d ujarnya lagi.\nSistem penyiraman yang diperkenalkan ini menggunakan takungan air hujan yang dikumpulkan dari bangunan surau yang berhampiran dan air penyaman udara sekali gus menjimatkan penggunaan air di sekolah berkenaan.\nSelain itu, pihak makmal MCMC-UUM MakerSpace turut menyediakan bekas untuk menghasilkan baja kompos yang boleh digunakan untuk membaja sayur-sayuran yang ditanam. Melalui sistem ini, sampah organik di sekolah dapat dikitar semula. Kelestarian ini bukan hanya meliputi penjagaan alam sekitar, malah merangkumi aspek pendidikan, sains dan keusahawanan.\nSementara itu, Guru Besar SK Telaga Mas, Puan Farahida Omar menyatakan bahawa program yang diperkenalkan ini bukan sahaja dapat memupuk inovasi dalam kalangan guru dan pelajar, malah konsep pertanian pintar dapat diajarkan kepada mereka.\nBekas tanaman yang digunakan terdiri daripada bahan yang dikitar semula seperti botol sabun pencuci, manakala sisa makanan dan tumbuh-tumbuhan dijadikan sebagai kompos.\nPada masa yang sama, pelajar tahun akhir program Sarjana Teknologi Maklumat, Sangetha Sandram yang\u00a0 menyertai program ini berpendapat bahawa program seumpama ini sangat bermakna bukan sahaja kepada dirinya, malah dapat membantu komuniti pelajar di negeri Kedah khususnya agar melibatkan diri dengan aktiviti luar selain penumpuan utama diberikan dalam bidang akademik." "Mudahnya Penyampaian Maklumat melalui Perisian Pemvisualan Data\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSebagai penganalisis data, guru mahupun pelajar, teknik persembahan data sangat penting supaya penemuan atau idea yang ingin disampaikan lebih bermakna dan mudah difahami oleh khalayak. Teknik persembahan data menggunakan konsep pemvisualan ialah satu daripada cara yang paling berkesan untuk penyampaian sesuatu penemuan dan idea. Pemvisualan data ialah cara persembahan data yang diterjemah dalam bentuk grafik supaya lebih mudah difahami oleh pembaca.\nPrinsip dalam Penghasilan Pemvisualan Data\nMenurut Towards Data Science, terdapat lima prinsip bagi menghasilkan pemvisualan data yang menambat perhatian pembaca. Antaranya termasuklah penemuan yang dibentangkan itu benar, data yang menyokong penemuan tidak direka dan tidak melibatkan sumber penipuan.\nKedua, penganalisis data harus mengenali khalayak yang akan mendengar pembentangan atau membaca laporan penemuan. Dengan mengenali khalayak, penganalisis data dapat merangka visualisasi data dengan lebih berstruktur serta membina penceritaan yang lebih baik.\nKetiga ialah pemilihan carta, warna dan bentuk yang tepat dan sesuai dengan hasil penemuan atau idea. Hal ini dikatakan demikian kerana khalayak lebih tertarik dengan bentuk, warna dan corak yang membawa kepada penceritaan.\nSeterusnya, penganalisis data harus memberikan penekanan terhadap hasil yang memberikan impak. Sebagai penganalisis data yang baik, keseluruhan penemuan tidak perlu diceritakan. Sebaliknya, hasil penemuan utama dan yang bermakna sahaja yang dibentangkan.\nPemilihan Carta, Plot dan Peta dalam Pemvisualan Data\nPelbagai carta, plot dan peta seperti histogram, plot ketumpatan, carta garis, carta pai, carta bar, plot selerak dan peta haba (heat map) boleh digunakan dalam pemvisualan data. Pemilihan carta, plot dan peta tersebut bergantung pada jenis data yang ingin diterjemahkan.\nSebagai contohnya, sekiranya sesuatu data melibatkan dua pemboleh ubah yang saling bertukar, maka carta pemboleh ubah yang merentasi masa, carta alir dan carta kawasan sesuai untuk digunakan.\nHistogram, carta serak dan carta gelembung lebih sesuai untuk data nombor yang melibatkan tren. Carta pai dan carta donut pula sesuai bagi data yang melibatkan pecahan atau perkadaran bagi setiap kategori.\nBagi peta haba pula, data yang sesuai adalah yang melibatkan frekuensi dan intensiti seperti data populasi dan cuaca. Peta haba membantu khalayak melihat perkaitan antara dua pemboleh ubah dan menggunakan warna bagi mewakili setiap nilai yang terdapat pada pemboleh ubah.\nPlot selerak pula sesuai untuk menunjukkan perkaitan antara pemboleh ubah seperti perkaitan antara penjualan ais krim dengan suhu semasa musim panas dan musim sejuk.\nJenis Perisian Pemvisualan Data\nOleh hal yang demikian, pernahkah terlintas dalam fikiran, bagaimanakah untuk menghasilkan pemvisualan data dengan lebih mudah dan seterusnya memberikan impak kepada khalayak? Lembaran hamparan seperti Microsoft Excel dan Google Sheets merupakan perisian yang paling mudah didapati untuk membangunkan pemvisualan data. Namun begitu, kedua-dua perisian hamparan tersebut mempunyai kekurangan, iaitu pemvisualan data tidak dapat dibangunkan pada masa nyata.\nKini, terdapat beberapa perisian pemvisualan data yang telah dibangunkan dan bersifat mesra pengguna. Antaranya termasuklah Tableau, Google Data Studio, Datapine, Microsoft Power BI, Looker dan lain-lain lagi. Setiap perisian pemvisualan data mempunyai kelebihan dan perbezaan yang tersendiri. Yang pasti, pengguna mementingkan perisian yang percuma dan lebih mudah digunakan.\nTableau ialah perisian pemvisualan data yang semakin popular digunakan dalam pelbagai industri seperti kesihatan, kewangan, insurans, pendidikan dan saintifik. Pemvisualan data oleh Tableau adalah secara interaktif yang merujuk paparan pemvisualan melalui papan pemuka (dashboard).\nTableau bersifat mesra pengguna kerana pengguna tidak memerlukan bahasa pengaturcaraan yang rumit. Sebaliknya, Tableau memberikan kemudahan kepada pengguna untuk membangunkan pemvisualan data secara grafik yang mudah diolah dengan menggunakan tetikus. Tableau juga dapat digunakan secara perkongsian dalam kumpulan.\nAntara kelebihan lain yang disediakan oleh Tableau termasuklah pembangunan pemvisualan data hingga penyediaan analitik data bagi mengenal pasti tabiat membeli-belah pelanggan yang menggunakan platform membeli-belah secara dalam talian seperti dimanfaatkan oleh Zalora.\nSementara itu, Google Data Studio (GDS) telah dibangunkan oleh Google sebagai perisian pemvisualan data yang boleh digunakan secara dalam talian. Melalui GDS, konfigurasi carta menjadi lebih mudah dan data daripada pelbagai jenis mudah dihubungkan.\nSeperti Tableau, GDS mudah digunakan oleh pengguna kerana tiada bahasa pengaturcaraan diperlukan. GDS juga bersifat secara interaktif dan boleh dijadikan dalam bentuk perkongsian. Pengguna hanya perlu mencipta akaun bagi menggunakan GDS tanpa perlu memasangnya di dalam komputer. Lebih menarik, GDS mempunyai templat pemvisualan yang boleh dijadikan sebagai panduan untuk pengguna mengolah pemvisualan data.\nLooker turut mempunyai persamaan seperti Tableau, iaitu memudahkan pengguna mengolah pemvisualan dalam bentuk antara muka pengguna grafik tanpa memerlukan kemahiran dalam bidang pengaturcaraan. Namun demikian, penggunaan Looker adalah berskala kecil berbanding dengan Tableau yang sesuai untuk kumpulan yang besar. Seperti GDS, Looker juga bersifat interaktif dan boleh diakses secara dalam talian tanpa perlu memasangnya di komputer. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga perisian ini memerlukan pembayaran sekiranya melibatkan penggunaan dalam skala besar dan digunakan pada peringkat organisasi.\nKelebihan dan Cabaran Menggunakan Perisian Pemvisualan Data\nPenggunaan perisian pemvisualan memberikan kelebihan kepada penganalisis data untuk menyampaikan hasil penemuan dengan lebih efisien dan pada masa nyata.\nSekiranya berlaku penambahan data, pemvisualan data akan berubah secara automatik. Perisian pemvisualan data yang ditempatkan dalam pengkomputeran awan juga memudahkan ahli kumpulan penganalisis untuk mengemas kini maklumat dengan lebih efisien dan tepat.\nDengan adanya tutorial atau manual secara dalam talian, pengguna biasa juga mudah untuk mempelajari penggunaan perisian pemvisualan data. Secara tidak langsung, kemudahan ini memberikan peluang yang lebih banyak kepada semua golongan untuk menggunakan perisian pemvisualan data dan menjadikan tugasan dalam suatu organisasi dapat dilaksanakan dengan lebih baik.\nAntara cabaran menggunakan perisian pemvisualan data termasuklah generasi lama yang tidak bersedia mengintegrasikan perisian ini dalam cara kerja mereka yang secara tidak langsung menghalang sesuatu operasi berlangsung secara optimum.\nSelain itu, harga pembelian perisian juga memerlukan perbelanjaan yang rapi oleh pengguna. Namun begitu, hal tersebut bukanlah halangan yang besar kerana masih terdapat perisian pemvisualan data yang berbentuk sumber terbuka.\nSebagai kesimpulannya, perisian pemvisualan data memberikan pelbagai pilihan kepada pengguna dengan kelebihan serta harga yang berpatutan. Pilihan ini seharusnya dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh pengguna supaya dapat menghasilkan pemvisualan data yang baik dan lebih bermakna untuk khalayak.\nIstilah rumit dalam mempelajari sesuatu teknologi bukan lagi menjadi halangan kerana pelbagai platform telah disediakan. Yang utama ialah kehendak seseorang itu untuk mempelajari teknologi dengan hati yang terbuka dan menggunakan peluang yang ada dengan sebaik-baiknya." "Sirih, Budaya dan Perubatan Tradisional\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSirih ialah tumbuhan memanjat yang berasal dari Asia Tenggara. Sirih juga dikatakan sebagai tumbuhan natif dari zon tengah dan timur Malaysia. Tumbuhan ini telah disebarkan sebagai tanaman sampingan sejak lebih 2500 tahun dahulu di seluruh Malaysia dan tropika Asia. Spesies ini telah di bawa ke Madagascar dan timur Afrika dan kemudiannya ke Hindia Barat oleh para pedagang rempah-ratus.\nAmalan mengunyah sirih telah berleluasa di selatan India dan China Selatan apabila orang Eropah mula tiba ke negara tersebut pada abad ke-15. Sirih yang dikenali dengan potensinya sebagai ubat-ubatan, akhirnya digunakan secara meluas di India, Indonesia dan negara lain di rantau IndoChina, termasuklah Malaysia, Vietnam, Laos, Kampuchea, Thailand, Myanmar, Singapura untuk pelbagai kegunaan.\nPenggunaan sirih dalam budaya tradisional Asia Tenggara menunjukkan bahawa sirih memainkan peranan yang penting dalam kehidupan sosial dan budaya masyarakat. Tradisi ini berasal daripada masyarakat Austronesia yang tersebar ke berbagai-bagai kawasan di Asia Tenggara seperti Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand.\nDi Malaysia juga, sirih telah menjadi sebahagian daripada warisan budaya negara Malaysia. Sirih telah digunakan oleh masyarakat di negara ini sejak ribuan tahun yang lalu, sama ada sebagai bahan makanan, bahan ubatan dan simbol sosial serta budaya.\nSirih sering digunakan dalam acara keagamaan dan sosial seperti perkahwinan, upacara adat dan perayaan.\nPenggunaan sirih dalam tradisi juga berkaitan dengan kepercayaan bahawa sirih memiliki khasiat kesihatan dan membantu menjaga keseimbangan elemen badan. Sirih juga memainkan peranannya yang tersendiri dalam tradisi sosial seperti dalam kebudayaan Melayu seperti yang sering digunakan sebagai tanda cinta dan kesetiaan dalam acara perkahwinan.\nPada kebiasaannya, adat menghadiahkan sirih pada acara perkahwinan ialah satu daripada tradisi yang berakar dalam budaya Melayu. Pengantin perempuan biasanya menghadiahkan seberkas sirih berbentuk sirih junjung kepada pengantin lelaki sebagai tanda cinta, pengorbanan dan kesetiaan.\nSirih juga sering ditempelkan pada baju pengantin lelaki sebagai tanda pernikahan yang sah. Kebiasaan ini menjadi sebahagian daripada budaya Melayu yang kaya dengan tradisi dan dianggap penting dalam memperkuat ikatan antara mempelai. Sesi menghadiahkan sirih dalam acara perkahwinan juga membantu memperkuatkan rasa kekeluargaan dan kebersamaan dalam masyarakat Melayu.\nSelain itu, sirih juga berfungsi dalam tradisi makan di beberapa wilayah di Asia Tenggara, khususnya di Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand. Antara tradisi makan yang melibatkan sirih ialah mengunyah sirih yang biasa dilakukan dalam masyarakat Melayu.\nSirih juga digunakan sebagai cara untuk memperkenalkan diri dan memperkuat ikatan sosial antara individu. Proses mengunyah sirih biasanya melibatkan penggunaan daun sirih sebagai bahan kunyahan dalam acara sosial seperti upacara perkahwinan, acara makan atau acara keagamaan.\nSirih yang dikunyah bersama-sama tetamu dilihat untuk memperkuatkan rasa kekeluargaan dan kebersamaan dalam masyarakat. Aktiviti mengunyah sirih juga sering dipandang sebagai simbol kebudayaan Melayu dan penting dalam identiti budaya masyarakat Melayu. Namun demikian, sejak akhir-akhir ini, amalan ini sudah semakin kurang diamalkan oleh masyarakat Melayu kerana dianggap tidak relevan dan hanya diamalkan oleh orang tua.\nTerdapat beberapa kegunaan sirih dalam dalam perspektif seni dan budaya masyarakat di Asia Tenggara. Antaranya termasuklah:\n\u00a0\nMorfologi pokok sireh\nSirih (Piper betle) merupakan pokok renek yang memanjat dan menjalar yang boleh mencapai ketinggian antara 10 meter hingga 20 meter tinggi. Batangnya licin, berwarna hijau dengan diameter antara empat milimeter hingga 10 milimeter.\nDaun sirih berbentuk oval (bujur sirih) dengan ukuran antara lapan sentimeter hingga 12 sentimeter lebar dan antara 10 sentimeter hingga 15 sentimeter panjang. Dasar daunnya kaudat, manakala hujung daunnya akut.\nSirih sesuai ditanam di tanah gembur yang tidak terlalu lembap dan memerlukan cuaca panas serta lembap untuk membiak subur dengan air yang mencukupi.\nPembiakan dan Penanaman Sirih\nPembiakan sirih agak mudah dengan pembahagian akar atau keratan yang boleh ditanam di tanah ataupun di dalam pasu. Daun sirih memerlukan tanah yang subur dan lebih suka di kawasan separa teduh. Sekiranya pengairan dan kawalan cahaya matahari tidak dapat dikekalkan, maka hal tersebut akan memberikan kesan negatif kepada saiz, bentuk, warna dan rasa daun sirih.\nAntara faktor yang memberikan kesan negatif kepada daun sirih termasuklah:\nSirih dan Perubatan Tradisional\nSirih telah lama digunakan dalam perubatan tradisional di Asia Tenggara, terutamanya di Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand. Sirih dipercayai memiliki pelbagai khasiat kesihatan dan digunakan sebagai ubat secara semula jadi untuk pelbagai penyakit. Antara beberapa rawatan yang pernah diamalkan menggunakan daun sirih termasuklah:\nMeskipun penggunaan sirih dalam perubatan tradisional memiliki sejarah yang agak lama dan popular, namun khasiat sirih kepada sirih perlu dibuktikan dengan kajian saintifik. Sebaik-baiknya, penggunaan sirih untuk rawatan penyakit atau penjagaan kesihatan perlu mendapat nasihat daripada mereka yang berpengalaman, doktor atau pakar perubatan.\nSebagai kesimpulannya, sirih ialah satu daripada spesies tumbuhan natif di Malaysia yang mempunyai kedudukan yang istimewa dalam masyarakat di Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu dan India. Keunikan sirih juga terletak pada aroma dan bentuk morfologi daunnya yang cantik dan menarik.\nDi samping itu, ketahanan daunnya menyebabkan spesies ini sesuai dijadikan hasil kraftangan seperti gubahan dan sirih junjung. Sirih juga menjadi lebih penting kepada masyarakat apabila potensi ubatannya diketahui, terutamanya dalam perubatan tradisional." "Patuhi GMP bagi Menghasilkan Produk Berkualiti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pihak pengilang bagi sesuatu produk perlu mematuhi kesemua aspek dalam Amalan Pengilangan Baik (GMP) yang merupakan satu set standard atau keperluan bagi memastikan produk yang dihasilkan berkualiti berdasarkan spesifikasi yang ditetapkan.\nBerbicara tentang GMP, siaran radio Nasional FM telah menampilkan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Pusat Komplians dan Kawalan Kualiti Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Puan Fazillahnor Ab. Rahim bagi mengulas lebih lanjut berkenaan dengan hal ini.\nMenurut beliau, GMP ialah satu garis panduan yang perlu dipatuhi oleh pihak pengilang apabila menghasilkan suatu produk. GMP ini mempunyai pelbagai kategori, misalnya produk farmaseutikal, produk tradisional, suplemen kesihatan ataupun kosmetik. Pihak pengilang perlu merujuk garis panduan ini agar dapat mengeluarkan produk yang tepat dan berkualiti dalam pasaran.\nUjarnya lagi, terdapat tiga perkara yang perlu dititikberatkan ketika menghasilkan suatu produk, iaitu kualiti, keberkesanan dan selamat. Konsep kualiti di sini bermaksud produk yang dihasilkan itu perlu mematuhi keperluan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), terutamanya dari segi spesifikasi standard antarabangsa ataupun berdasarkan apa-apa rujukan yang telah diiktiraf.\nSelain itu, aspek keberkesanan merujuk produk yang dihasilkan itu boleh mencegah dan merawat penyakit. Keberkesanan ini dapat diketahui melalui ujian klinikal, manakala dari segi keselamatan pula, produk yang dihasilkan seharusnya tiada kesan sampingan.\nMenjawab persoalan berkenaan dengan langkah yang diambil oleh KKM untuk memastikan produk yang dipasarkan atau digunakan itu berkualiti, berkesan dan selamat, beliau menyatakan bahawa setiap pendaftaran produk perlu menjalani proses penilaian serta pengujian makmal. Pihak pengilang atau premis yang terlibat perlu diperiksa dan mempunyai keperluan pelesenan. KKM akan menyemak lesen tersebut bagi mengenal pasti pihak berkenaan sesuai ataupun tidak untuk mengilang, mengimport atau memborong suatu produk.\nPada masa yang sama, KKM turut berperanan untuk memantau dan melakukan pengawasan mutu semua produk yang telah dikeluarkan dalam pasaran melalui pemantauan pada label, kesan sampingan atau aduan yang diterima daripada orang awam.\nTambah beliau, kesedaran dan pendidikan juga ialah satu daripada cara untuk memaklumkan kepada orang ramai bagi mengetahui cara untuk memastikan produk itu berkualiti, berkesan dan selamat.\nPeraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 sudah dinyatakan bahawa pematuhan ke atas GMP diperlukan sebagai syarat untuk mendaftarkan produk dan permohonan lesen pengilang. Oleh sebab itu, jika tiada GMP, maka pendaftaran produk tidak boleh dilakukan ataupun lesen tidak dapat diperoleh.\nJelas beliau lagi, GMP itu sendiri memberikan standard untuk memastikan produk yang dihasilkan mengikut standard yang merangkumi sembilan aspek utama, iaitu sistem pengurusan kualiti; kakitangan dan personel; premis dan peralatan; dokumen; pengeluaran; kawalan kualiti; kontrak; pengendalian aduan dan pengembalian produk; serta pemeriksaan dalaman. Jika pihak pengilang dapat mematuhi kesemua aspek yang terdapat dalam GMP ini, maka pengilang berkenaan mempunyai kawalan dan boleh mengilang produk dengan konsisten serta mengikut kualiti yang dikehendaki.\nMenurutnya lagi, NPRA akan melakukan pemeriksaan terhadap pihak pengilang secara berkala. Pemeriksaan perlu dilakukan kerana pihak pengilang memerlukan status GMP yang sah sepanjang masa. Pemeriksaan tersebut bergantung pada kategori produk bagi membolehkan NPRA dapat mengenal pasti jenis kilang, menganggarkan pasukan pemeriksa yang diperlukan dan menetapkan tempoh pemeriksaan dijalankan. Kesemua sembilan aspek GMP yang dinyatakan akan diperiksa secara terperinci.\nPada akhir sesi pemeriksaan, NPRA akan mengadakan satu mesyuarat penutup untuk membentangkan penemuan pelanggaran terhadap GMP oleh pengilang yang ditemukan semasa pemeriksaan dilaksanakan. Sebagai contohnya, pengilang tidak membuat perekodan semasa melakukan aktiviti pembersihan.\nBeliau menjelaskan bahawa tindakan kepada pihak pengilang yang tidak mematuhi GMP akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa yang terdiri daripada pengurusan tertinggi NPRA dan pegawai pemeriksa berkenaan. Pada kebiasaannya, tindakan itu boleh dikenakan terhadap produk seperti tidak dibenarkan untuk membuat pendaftaran ataupun lesen pengilang ditarik.\nDalam membantu industri ubat-ubatan tempatan, KKM bertanggungjawab dalam memberikan khidmat nasihat teknikal kepada individu atau pihak yang ingin menghasilkan suatu produk. Selain itu, KKM juga akan melakukan satu pemeriksaan awal, yakni pemeriksaan prapelesenan terhadap kilang produk sebelum mula beroperasi.\nNPRA juga mempunyai jadual secara berkala untuk bertemu dengan industri atau persatuan melalui platform dialog. Lazimnya, pihak industri akan menyenaraikan semua masalah GMP atau masalah yang dihadapi oleh industri kecil. Menerusi dialog inilah, bantuan dari segi keperluan atau penyediaan garis panduan dapat dilakukan.\nPengguna perlu memilih produk yang berdaftar, yakni mengandungi nombor pendaftaran MAL bagi ubat. Untuk kosmetik pula, pengguna perlu memilih produk yang bernotifikasi yang mengandungi nombor notifikasi NOT. Pengguna juga digalakkan untuk menyemak status produk dalam laman sesawang NPRA atau aplikasinya, iaitu NPRA Product Status.\nSebelum menutup tirai perkongsiannya, beliau menasihatkan agar pengusaha baharu perlu memastikan keperluan GMP yang diperlukan dan menghantar pelan susun atur kilang yang bakal diusahakan itu atau menghubungi pihak NPRA bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dengan hal ini." "Tiada Lagi Sisa Radioaktif Tambahan daripada Lynas selepas Julai 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Permohonan untuk menggugurkan empat syarat lesen LPTA/A/1333 yang berkaitan dengan pengurusan residu water leach purification (WLP) dan aktiviti cracking and leaching (C&L) di Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) dikemukakan oleh Lynas pada 17 Mei 2022 lalu kepada Jabatan Tenaga Atom (JTA) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada ketika itu.\nSusulan itu, Lynas telah mengemukakan permohonan pembaharuan lesen yang akan tamat pada 2 Mac 2023 kepada JTA pada 26 Oktober 2022 lalu. Kesemua permohonan ini dibawa ke dalam beberapa siri mesyuarat yang telah diadakan untuk pertimbangan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA).\nBertitik tolak dengan hal berkenaan, LPTA telah memaklumkan secara rasminya kepada Lynas berkaitan dengan keputusan permohonan tersebut pada 13 Februari lalu.\nBerdasarkan hasil mesyuarat LPTA, permohonan Lynas untuk mengugurkan empat syarat lesen berkaitan dengan pengurusan residu WLP selepas Julai 2023, aktiviti C&L di LAMP dan pengimportan pekatan lantanid daripada Australia telah ditolak oleh LPTA, manakala permohonan pembaharuan lesen Lynas untuk tempoh tiga tahun yang bermula 3 Mac 2023 hingga 2 Mac 2026 diluluskan.\nEkoran daripada hal ini, Lynas perlu terus mematuhi semua syarat lesen yang telah diputuskan sebelum ini sejak Mac 2020 agar aktiviti C&L yang menghasilkan sisa radioaktif akan dijalankan di Australia serta tiada lagi aktiviti C&L dilakukan di LAMP, Gebeng, Pahang selepas Julai 2023. Namun begitu, aktiviti lain yang tidak melibatkan penghasilan sisa radioaktif dibenarkan beroperasi seperti biasa. Hal ini bermakna tiada lagi sisa radioaktif tambahan daripada Lynas selepas Julai 2023.\nUntuk makluman, Lynas telah menghasilkan kira-kira 1.08 juta tan metrik sisa radioaktif sejak beroperasi di negara ini dari tahun 2012. Jumlah sisa ini dijangkakan akan meningkat hingga mencecah 1.2 juta tan metrik hingga Julai 2023.\nKerajaan amat komited dalam mewujudkan persekitaran mesra perniagaan dan memahami kepentingan industri nadir bumi. Namun begitu, tidak ada mana-mana pihak yang berhak untuk menghasilkan sisa radioaktif di negara ini secara berterusan." "Memperkasakan Industri Durian di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDurian ialah satu daripada sumber kekayaan Malaysia. Industri durian di Malaysia juga mempunyai potensi yang besar. Menurut rekod Jabatan Pertanian Malaysia, pada tahun 2021, keluasan kawasan penanaman durian adalah sebanyak 85 280 hektar, manakala keluasan kawasan berhasil pula sebanyak 57 973 hektar. Keluasan kawasan ini menyumbang potensi hasil sebanyak 22 tan durian per hektar.\nVarieti durian yang menjadi pilihan untuk dieksport ialah musang king (D197). Pada kebiasaannya, durian dieksport ke Singapura, Hong Kong dan Brunei dengan nilai eksport mencecah RM122 juta yang bersamaan dengan 26 ribu tan. Banyak negara berminat untuk mengimport durian dari Malaysia disebabkan oleh kualiti durian Malaysia yang baik, lebih manis, lemak dan beraroma.\nNegara seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat dan China kebanyakannya mengimport durian dalam bentuk beku selain durian segar. Selain durian beku, durian segar turut diimport ke Indonesia, negara Eropah dan Emiriyah Arab Bersatu.\nTerdapat pelbagai jenis durian di Malaysia selain durian kampung. Antaranya termasuklah duri hitam, tekka, IOI, D24, dan DKP. Varieti seperti durian dalit, durian kuning, durian lahong biasanya terdapat di Borneo. Hingga kini, Jabatan Pertanian telah mendaftar sebanyak 226 varieti durian klon yang premium.\nPada tahun 2016, Jabatan Pertanian telah memperkenalkan satu standard durian kampung premium. Antara standard bagi durian jenis ini termasuklah bertangkai segar, isi berwarna putih krim, kuning atau jingga dengan ketebalan isi melebihi 10 milimeter dan berat buah melebihi satu kilogram.\nTiga negeri utama yang menyumbang pengeksportan durian sebanyak 448 ribu tan durian dengan nilai sebanyak RM8.46 bilion ialah Johor, Pahang dan Perak. Walau bagaimanapun, Malaysia turut mengimport durian daripada Thailand dengan nilai sebanyak RM17 juta yang bersamaan dengan enam ribu tan.\nPermintaan dan pengeluaran di Malaysia terus meningkat saban tahun. Dianggarkan peningkatan pengeluaran berlaku antara dua peratus hingga lima peratus setiap tahun, namun jumlah demikian masih belum mencukupi untuk pasaran eksport ke luar negara. Nilai eksport durian juga dijangkakan terus meningkat setiap tahun. Oleh hal yang demikian, Jabatan Pertanian amat menggalakkan mana-mana pihak untuk menceburi industri penanaman durian.\nAntara cabaran industri durian di Malaysia termasuklah pengeluaran bekalan durian yang berterusan, serangan penyakit dan perosak, pemasaran, persaingan antara negara pengeksport lain menggunakan nama varieti yang sama dan penggunaan teknologi dalam pengurusan ladang.\nDi Malaysia, musim pengeluaran durian adalah pada bulan Jun, Julai dan Ogos. Untuk pengeluaran bekalan yang berterusan, pihak industri menggunakan cecair nitrogen untuk membekukan buah durian sehingga suhu negatif 80 darjah Celcius untuk penyimpanan. Stok durian beku ini dapat disimpan selama dua tahun.\nSerangan penyakit dan perosak durian pula menjadi ancaman kepada pengusaha industri durian. Serangan haiwan seperti tupai boleh mengakibatkan serangan kulat pada durian. Serangan kulat turut boleh berlaku akibat faktor kelembapan dalam ladang durian.\nBintik daun yang terbentuk akibat serangan antraknos pada daun pokok durian boleh berkembang dan membesar lalu merosakkan pokok durian. Hawar daun yang menyebabkan daun bertukar warna perang gelap atau keunguan juga boleh menyebabkan daun gugur di samping memberikan kesan pereputan akar dan pokok lalu menjadi matirosot.\nKutu psyllid biasanya menyucuk dan menghisap pucuk daun muda dan menjadikan daun kerinting dan kering seterusnya mengakibatkan kerosakan pokok yang teruk. Teritip daun pula menghisap cairan sap gel pada daun dan boleh menyebabkan tumbesaran pokok terjejas.\nPemasaran durian segar secara dalam talian turut dijalankan dan eksport durian sedang digiatkan pada peringkat antarabangsa oleh pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Negara lain juga telah mula menanam varieti durian musang king dan hal ini memberikan cabaran buat Malaysia.\nInovasi pengenalan identiti menggunakan kod bar dan usaha bersama-sama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah membangunkan pengesanan genetik bagi membantu jaminan kualiti varieti buah durian yang dihasilkan di Malaysia. Penggunaan Internet benda (IOT) untuk pengairan ladang, pengesanan buah durian yang gugur melalui aplikasi telefon pintar juga dapat menjadikan pengurusan masa tuaian buah durian lebih baik.\nAntara impak peningkatan pasaran durian di dunia termasuklah harga durian yang meningkat, kepelbagaian penggunaan durian, peningkatan penyertaan syarikat, harga tanah ladang yang meningkat dan faktor agropelancongan.\nHarga durian yang terus meningkat adalah disebabkan oleh faktor pengenalan durian kampung premium dan hal ini menyumbang pada peningkatan harga varieti durian yang lain. Kepelbagaian penggunaan durian turut membuka pelbagai industri hiliran yang membuat pelbagai produk sampingan daripada durian seperti cendol durian, pulut durian, aiskrim durian dan lain-lain.\nSementara itu, peningkatan penyertaan syarikat dalam industri durian berlaku akibat pulangan lumayan hasil penanaman durian. Sebanyak 41 syarikat pemprosesan durian wujud untuk tujuan domestik dan eksport, manakala 20 syarikat terlibat secara langsung dalam pemprosesan sejuk beku durian.\nPopulariti industri durian turut menyumbang kepada peningkatan harga tanah ladang. Mengambil contoh di Raub, harga urus niaga tanah hanya kira-kira RM120 ribu hingga RM150 ribu seekar atau kira-kira RM2.56 hingga RM3.44 untuk setiap kaki persegi sebelum meningkat kepada RM300 ribu hingga RM400 ribu seekar atau kira-kira RM6.89 hingga RM9.18 untuk setiap kaki persegi pada tahun 2016. Industri agropelancongan turut merancakkan industri durian dengan peningkatan pelancong saban tahun dan memberikan pulangan yang memberangsangkan kepada negara.\nDalam Rancangan Malaysia Ke-12, Jabatan Pertanian Malaysia menyasarkan pengeluaran sebanyak 1.75 juta anak pokok durian dan 10 metrik tan biji benih dalam tempoh lima tahun ini. Pada tahun 2021, sebanyak 20 ribu anak benih telah dihasilkan di Pusat Pertanian Serdang.\nBagi pengusaha benih durian, Jabatan Pertanian telah memperkenalkan Program Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) untuk memberikan keyakinan pembeli terhadap ketulenan varieti tanaman durian. Terdapat 16 varieti durian yang berdaftar dan 222 nurseri telah menyertai SPBT pada tahun 2021.\nDari segi pengeluaran bahan tanaman durian berkualiti, terdapat enam elemen penting dalam pertanian yang perlu diteliti, iaitu benih, tanah, cuaca, air, teknologi dan tenaga kerja. Sesuatu bahan tanaman itu dikatakan berkualiti apabila mempunyai saiz yang seragam, pertumbuhan yang cergas, varieti yang tulen dari segi genetik dan bebas daripada penyakit dan perosak. Bagaimanakah jika bahan tanaman durian yang didapati tidak berkualiti? Pelbagai kesan pembaziran yang harus ditanggung seperti masa dan tenaga, peningkatan kos input, lambat mendapatkan hasil, buah tidak berkualiti serta potensi hasil tanaman terjejas.\nUntuk mendapatkan bahan tanaman yang berkualiti, terdapat lima kriteria yang perlu diambil berat, iaitu pengurusan mata tunas yang baik, kaedah pembiakan yang sesuai, pengurusan penyakit dan perosak benih, kemudahan di pusat pengeluaran benih dan tenaga kerja berkemahiran.\nPengurusan mata tunas yang baik mestilah mempunyai jarak antara tanaman, iaitu kira-kira 10 kaki x 10 kaki. Hal ini adalah berbeza dengan jarak tanaman komersial. Pokok dengan mata tunas hendaklah dipastikan tidak meninggi dan tidak berbuah kerana ranting diperlukan daripada pokok tunas. Pokok dengan mata tunas yang cergas seharusnya mempunyai pertumbuhan daun atau pucuk yang aktif, pembentukan daun yang baik, ranting atau daun bebas dari jangkitan penyakit dan serangan perosak serta daun berwarna hijau dan tidak kekuningan.\nKaedah pembiakan yang sesuai untuk durian ialah menggunakan biji, cantuman mata tunas dan cantuman baji. Antara kelebihan teknik cantuman termasuklah memendekkan masa penghasilan buah berbanding dengan kaedah biji. Bagi yang memilih kaedah biji, pastikan biji durian yang akan digunakan bersaiz besar, bernas, matang dan bulat.\nTujuan semaian biji durian dilakukan adalah untuk untuk menghasilkan pokok penanti (bahagian pokok yang akan menjadi sistem akar). Biji durian perlu dirawat dengan racun kulat sekiranya perlu, kemudian disemai atau ditanam secara rapat.\nSiraman air hendaklah dilakukan pada setiap hari. Biji durian akan mula bercambah selepas lima hari hingga tujuh hari. Anak pokok boleh dipindahkan selepas satu bulan hingga dua bulan atau apabila anak pokok telah mengeluarkan antara tiga daun hingga empat daun.\nAnak pokok yang sihat dan batang yang lurus hendaklah dipilih sebelum dimasukkan di dalam polibeg yang disediakan. Jenis tanah campuran yang perlu digunakan ialah tanah atas (topsoil), gambut kelapa dan sekam padi bakar dengan nisbah 3:11. Saiz polibeg yang ideal ialah 10 inci x 8 inci atau 10 inci x 12 inci.\nTanah atau media yang baik dapat memberikan akar yang sihat seterusnya menghasilkan pokok durian yang dapat menyerap nutrien dengan baik. Ciri akar yang sihat ialah berwarna cerah, akar sekunder atau tertier yang sangat banyak, kemerebakan akar yang luas dan terdapat pertumbuhan akar baharu.\nAnak benih mestilah diletakkan di pusat pengeluaran benih yang sesuai. Tenaga kerja yang berkemahiran adalah sangat penting dan harus mempunyai keserasian dan pengalaman dalam pengurusan serangga perosak, pembiakan dengan kaedah cantuman, pengurusan anak benih serta boleh memberikan komitmen yang baik dalam setiap aktiviti pengeluaran biji benih.\nSebagai kesimpulannya, industri durian di Malaysia merupakan satu daripada sumber kekayaan negara dan semua pihak yang berkepentingan, terutamanya usahawan digesa untuk merebut peluang ini. Usahawan juga diseru untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak yang berkaitan, terutamanya Jabatan Pertanian bagi melancarkan segala urusan yang berkaitan dengan industri durian." "Pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir Pelihara Alam Sekitar menerusi Penanaman Pokok Bakau\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPort Dickson \u2013 Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SASER) terus komited meneruskan usaha dalam memenuhi satu daripada modul khidmat masyarakat bagi Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda 2023. Program ini dilaksanakan di bawah Projek Penanaman Pokok Bakau oleh Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan dengan kerjasama Persatuan Pencinta Alam Malaysia dan Persatuan Belia Dinamik Barat (PBDB) yang dilantik oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk mengadili dan menilai penyertaan belia dalam program berkenaan.\nPenganjuran program ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada orang awam, terutamanya belia bagi mendalami aktiviti pemeliharaan alam sekitar.\nSebanyak 500 pokok bakau ditanam di Hutan Simpan Paya Bakau Jimah, Port Dickson. Program yang disertai oleh 120 orang pelajar tingkatan satu merangkap peserta Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda 2023 dan 120 orang pelajar tingkatan dua ini turut diiringi oleh 20 orang pengiring termasuklah ibu bapa peserta.\nPada masa yang sama, Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, YB Dato\u2019 Haji Mohamad Taufek Abd. Ghani bersetuju untuk memberikan sumbangan sebanyak RM5000 kepada pelajar Tingkatan Satu SASER bagi memenuhi dan melengkapkan modul untuk Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda 2023.\nTurut hadir dalam program ini ialah Pengerusi PBDB, Encik Zaharruddin Abd. Majid, Pengetua SASER, Tuan Haji Sahak Ahmadun dan Pengerusi Saserana 2022/2026, Encik Norizan Hairan." "Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Ketika Pandemik COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPandemik COVID-19 telah memberikan kesan langsung dalam kehidupan masyarakat sama ada\u00a0 pada peringkat nasional mahupun\u00a0 global. Kesan berkenaan termasuklah kepada aspek pendidikan daripada prasekolah hinggalah kepada peringkat pengajian tinggi. Kesan langsung pandemik ini kepada aspek pendidikan pula telah menyebabkan perubahan dalam penyampaian pengajaran daripada bersemuka kepada penyampaian pengajaran secara maya atau secara dalam talian. Hai ini akan memberikan kesan kepada penguasaan dan pencapaian pelajar dalam pembelajaran bahasa Melayu serta mata pelajaran lain.\nSehingga penulisan artikel ini ditulis, banyak negara telah menutup atau mengehadkan pergerakan dalam kehidupan seharian. Semua sekolah dan institusi pendidikan turut ditutup hingga ada sekatan pergerakan ditarik balik. Lanjutan penutupan semua institusi pendidikan berkenaan menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran terpaksa melalui dimensi baharu, iaitu melalui secara maya. Semua guru dan pelajar harus menempuh suasana baharu yang menyebabkan para guru dan murid perlu menguasai dan menggunakan teknologi dalam memastikan proses pembelajaran secara maya berjalan lancar. Para guru juga perlu merancang pengajaran dengan menyediakan bahan pembelajaran kendiri secara dalam talian untuk para pelajar.\nSejak perkembangan internet pada tahun 1990-an, guru bahasa digambarkan mempunyai hubungan yang sukar dengan penggunaan teknologi. Mereka dikatakan lebih tertinggal dalam menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara digital disebabkan oleh kurang bersedia untuk menggunakan teknologi dalam pengajaran mereka (Clark, 2018). Akibatnya, banyak guru bahasa terkesan dengan gelombang digital yang telah merevolusikan kebanyakan bidang dalam kehidupan. Perasaan bimbang wujud dalam diri guru bahasa ketika mula menggunakan teknologi dalam pengajaran. Terdapat tiga perkara asas yang sering berlegar dalam fikiran guru bahasa, iaitu:\nBagaimanakah cara untuk menangani masalah ini? Adakah teknologi begitu asing kepada guru bahasa? Dalam banyak keadaan, teknologi sebenarnya dapat memudahkan interaksi. Berapa ramaikah dalam kalangan kita kini yang menggunakan telefon dan media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Telegram, WeChat dan lain-lain untuk berkomunikasi? Hal ini sama sahaja berlaku semasa interaksi dalam persekitaran pembelajaran maya jika dikendalikan dengan betul. Peluang untuk menggunakan bahasa dapat dioptimumkan dan pelajar akan mempunyai banyak masa untuk berinteraksi antara satu sama lain. Sama ada kita suka atau tidak bentuk interaksi ini, yang diketengahkan melalui saluran digital kini menyumbang peratusan interaksi yang tinggi dalam dunia nyata.\nAdakah guru bahasa kehilangan kemahiran dan tumpuan pengajaran? Pengajaran bahasa bukanlah suatu disiplin ilmu statik. Hal ini dikatakan demikian kerana guru bahasa ialah penyampai utama pengetahuan pengisytiharan atau declarative, iaitu fakta atau maklumat. Pada masa ini, guru bahasa lebih dikonseptualisasikan sebagai fasilitator pembelajaran yang memberikan peluang belajar kepada pelajar mereka untuk memberikan maklum balas bagi menyokong peningkatan pembelajaran. Oleh itu, tumpuan pengajaran atau inti pati pengajaran bukanlah sesuatu yang kaku tetapi lebih dinamik untuk disesuaikan dengan konteks dan situasi semasa guru berada. Permudahan pembelajaran melalui teknologi merupakan suatu kemahiran baharu dan dalam banyak konteks dapat memberikan sokongan yang sangat berguna di dalam bilik darjah dengan memberikan peluang kepada pelajar untuk belajar dengan cara baharu dan menarik.\nKecerdasan buatan sering dimomokkan pada abad ke-21 dan menghantui banyak profesion. Walaupun terdapat tanggapan bahawa kecerdasan buatan bakal menggantikan kebanyakan profesion pekerjaan pada masa hadapan, kajian yang dijalankan oleh Frey dan Osborne (2013), mendapati bahawa kemungkinan profesion guru sekolah kehilangan fungsi adalah sekitar 0.007 peratus sahaja jika dibandingkan dengan sektor pekerjaan lain seperti pembantu perpustakaan (0.95), broker hartanah (0.97) dan pegawai pemasaran (0.99).\nHal ini dikatakan demikian kerana pengajaran merupakan pekerjaan yang kompleks, yang memerlukan pelbagai kemahiran seperti pengetahuan kandungan mata pelajaran berkenaan, pengurusan kelas, kemahiran motivasi, menyampaikan maklum balas, membezakan gaya pembelajaran pelajar, penyelesai masalah, kecerdasan emosi, bimbingan dan kaunseling serta kemahiran lain yang saling berkaitan dalam penyampaian ilmu dan kemahiran bahasa.\nBerbeza dengan keadaan kecerdasan buatan semasa, yang boleh digambarkan sebagai domain khusus, iaitu berkemahiran tinggi tetapi dalam satu bidang tertentu. Misalnya, bermain catur, memandu kereta, mengenali wajah atau ucapan manusia. Kemahiran domain am yang dimiliki oleh seseorang guru bahasa dengan interaksi yang kompleks antara mereka tidak akan dapat ditandingi oleh mesin dalam waktu dekat.\nBagaimanakah cara untuk membantu pembelajaran Bahasa Melayu?\nSebahagian daripada alasan yang mengatakan bahawa pengajaran bahasa ketinggalan dalam menggunakan kaedah pengajaran baharu melalui teknologi itu disebabkan oleh sekolah kekurangan motivasi atau sumber untuk menerapkan penyelesaian teknologi di dalam dan di luar persekitaran bilik darjah. Keadaan ini menyumbang kepada melemahkan kemahiran digital dalam kalangan guru bahasa. Namun\u00a0 begitu, dalam situasi yang mencabar sekarang, keperluan sistem pendidikan\u00a0 kita telah berubah dan bergerak seiring dengan keperluan dan cabaran yang dihadapi.\nOleh itu, terdapat keperluan yang jelas dan mendesak dalam mengembangkan profesional dalam pengajaran melalui teknologi kepada semua guru di seluruh dunia. Sebagai guru bahasa, mereka perlu mengambil langkah proaktif dalam mendepani cabaran pandemik semasa. Antara langkah tersebut termasuklah:\nSatu ciri yang menonjol dalam pengajaran secara dalam talian ialah suara guru. Kajian lalu menunjukkan bahawa komunikasi yang berkesan antara pelajar dengan guru\u00a0 yang melibatkan naik turun nada suara adalah sangat penting. Dalam pengajaran kelas tradisional, bahasa badan, kontak mata, dan gerak isyarat fizikal merupakan alat pengajaran yang penting. Walau bagaimanapun, dalam pengajaran secara dalam talian, guru harus lebih fokus pada fungsi suara dan vokal mereka. Kajian Bao (2020), mendapati bahawa bercakap dengan lembut dapat memberikan manfaat kepada pelajar dengan membantu mereka untuk mengikuti pembelajaran dengan lebih berkesan. Oleh itu, guru bahasa harus mengetahui tentang pentingnya mengekalkan suara perlahan dan mempraktikkan fungsi vokal. Hal ini akan memastikan pembelajaran yang berkesan untuk pelajar semasa pengajaran secara dalam talian.\nKepelbagaian aktiviti semasa pembelajaran secara dalam talian akan meningkatkan kadar kejayaan kelas secara talian secara keseluruhan. Kajian Townsend et al. (2002) pula menggambarkan bahawa lebih banyak perbincangan antara pelajar dengan guru dapat menghasilkan aktiviti yang lebih aktif dan memberangsangkan. Penyertaan kelas secara dalam talian boleh menjadi satu daripada cara untuk meningkatkan penglibatan pelajar dalam sesi pembelajaran. Menurut\u00a0 Smith dan Diaz (2004), pembelajaran menggunakan pendekatan kajian kes dengan mengemukakan soalan boleh melibatkan pelajar dengan lebih aktif. Dengan menggunakan pendekatan ini akan mendorong penyertaan pelajar dan meningkatkan kemampuan mereka untuk belajar. Dalam konteks ini, guru harus menyediakan bahan pengajaran yang berbentuk kajian kes terlebih dahulu dan berkongsi dengan pelajar.\nPembelajaran secara dalam talian sama sekali berbeza dengan pembelajaran tradisional dalam bilik darjah secara bersemuka. Dalam kuliah secara tradisional di dalam bilik darjah, guru berasa lebih terkawal terhadap tingkah laku pelajar. Hal ini sedikit berbeza semasa mengendalikan pembelajaran secara dalam talian. Guru harus merancang untuk menghasilkan pembelajaran yang menarik serta mengemukakan soalan yang mencabar kepada pelajar semasa kelas secara dalam talian (Smith dan Diaz, 2004). Hal ini akan membantu mewujudkan interaksi yang lebih baik yang melibatkan guru dengan pelajar serta pelajar dengan pelajar. Tambahan pula,\u00a0 pendekatan ini akan memastikan pelajar lebih fokus terhadap pembelajaran yang sedang berlangsung. Guru juga perlu mendapatkan maklum balas daripada pelajar mengenai kelas secara dalam talian ini agar dapat meningkatkan kapasiti pembelajaran secara dalam talian.\nGuru harus merangka bahan pembelajaran yang lebih kreatif. Dengan kata lain, pelajar harus ditawarkan dengan\u00a0 bahan bantu belajar yang lebih inovatif dan praktikal. Melalui pembelajaran secara dalam talian, guru dapat mengaitkan pembelajaran melalui kajian kes yang digunakan dengan dunia nyata. Kemudian, guru boleh meminta pelajar memberikan idea dan pendapat mereka. Hal ini akan membantu dalam mengembangkan kebolehan pelajar dan meningkatkan kadar kejayaan pembelajaran secara dalam talian.\nSemasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung, kemungkinan\u00a0 terdapat masalah talian internet tidak dapat dinafikan. Keadaan ini akan menyebabkan pelajar tidak dapat menyerahkan tugasan, bahkan tidak dapat mengakses sesetengah rakaman kuliah. Bagi menangani masalah tersebut, guru harus memberikan kelonggaran dan memberikan masa tambahan kepada pelajar. Hal ini akan membantu pelajar dalam menghantar tugasan dengan lebih mudah disebabkan oleh kekangan yang dihadapi. Guru juga tidak harus memberikan tekanan kepada pelajar dalam situasi pandemik ini. Sebaliknya, guru harus memberikan sokongan dan bimbingan penuh kepada pelajar. Sokongan ini boleh dilakukan dalam menyediakan rakaman terlebih dahulu secara dalam talian dan memberikan kelonggaran dalam penghantaran tugasan.\nKuliah kelas besar boleh dibahagikan kepada modul atau perbincangan yang lebih khusus untuk memastikan mendapat tumpuan. Guru harus menyediakan bahan kelas secara dalam talian kurang dari 30 minit. Hal ini dapat dilakukan dengan membagi satu tugasan besar kepada beberapa tugasan yang lebih khusus (Bao, 2020). Hal ini akan membantu pelajar untuk sentiasa prihatin dan fokus semasa kelas secara dalam talian. Lebih-lebih lagi, strategi ini akan membantu meningkatkan kebolehan belajar pelajar di kelas secara dalam talian.\nSebelum sesi secara dalam talian bermula, bahan pembelajaran perlulah di-e-mel terlebih dahulu bagi memudahkan pembelajaran pelajar. Dengan cara itu, guru boleh meminta pelajar untuk menyampaikan penjelasan ringkas mengenai apa-apa yang mereka fahami setelah membaca bahan semasa sesi secara dalam talian. Hal ini akan membantu meningkatkan perbincangan kelas secara dalam talian. Selain itu, pelajar akan mengambil bahagian dalam menjawab soalan sekiranya mereka sudah membaca bahan tersebut. Di samping itu, pelajar juga harus diberikan rakaman kelas secara dalam talian. Rakaman ini akan bermanfaat bagi pelajar yang ketinggalan atau tidak memahami mana-mana bahagian dalam pembelajaran berkenaan.\nAkhirnya, penulisan ini hanyalah sekadar garapan secara ringkas dalam\u00a0 mendepani pengajaran dan pembelajaran bahasa ketika pandemik melanda. Sesungguhnya wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia pada hari ini memberikan pelbagai kesan dalam pendidikan di negara kita. Pandemik ini juga membuka era baharu dalam pelaksanaan pengisian aktiviti pembelajaran yang mungkin selama ini begitu terasing untuk menjadikan guru dan murid memiliki tahap kemahiran digital yang lebih baik. Perbincangan secara ringkas tentang strategi pembelajaran secara talian ini sedikit banyak dapat membantu para guru dalam mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah." "Pengantarabangsaan Bahasa Melayu Perlukan Komitmen Berterusan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Gagasan mengantarabangsakan bahasa Melayu yang diutarakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob menuntut komitmen berterusan daripada pelbagai pihak dalam usaha merealisasikannya. Tanpa usaha dan komitmen tersebut, gagasan tersebut akan tinggal sebagai cakap kosong semata-mata. Atas faktor tersebut, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengundang tiga ahli panel yang berpengalaman untuk berkongsi maklumat mengenainya dan YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan bertindak sebagai moderator dalam Rancangan Sembang Tamu: Bahasa Melayu di Persada Dunia Siri 4, yang bersiaran menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP semalam.\nPengarang dan Penggiat Budaya, Puan Zalina Abdul Aziz, yang lebih dikenali sebagai Ninot Aziz menyatakan bahawa kita tidak mungkin mencapai kekuatan ekonomi sebagai sebuah bangsa dalam arus globalisasi tanpa kekuatan seni budaya dan warisan termasuklah dari aspek bahasa. Beliau memberikan contoh negara seperti Korea, yang mempamerkan kekuatan budaya mereka dari pelbagai segi termasuklah dalam dunia perfileman, teknologi dan penggunaan bahasa.\nTambahnya lagi, setelah 20 tahun, gelombang Korea atau Hallyu, filem Korea telah menerima pengiktirafan sebagai filem bukan berbahasa Inggeris pertama yang memenangi Anugerah Filem Terbaik dalam Pesta Filem Akademi pada tahun 2019. Kejayaan ini bukan berlaku secara kebetulan tetapi melalui dasar kebudayaan yang terperinci setelah bertahun lamanya. Semua pihak dalam negara ini sebenarnya perlu mendukung bahasa Melayu jika mahu membawa kepada pengantarabangsaan bahasa Melayu dan menerimanya sebagai satu penyatuan negara seperti ketika era tahun 1970-an sehingga tahun 1990-an.\nDalam usaha untuk membuat masyarakat jatuh cinta akan bahasa, mereka perlu mengenali hikayat atau legenda Melayu serti Hang Tuah, Bidasari atau segala filem P. Ramlee dan menjadikannya sebagai suatu kecintaan. Beliau mencadangkan agar pelaksanaan dasar bahasa dan budaya diperkukuh dalam semua bidang termasuklah pendidikan. Selain itu, usaha membudayakan bahasa dan budaya melalui industri kreatif dan mempromosikan bahasa dan budaya di persada antarabangsa perlu giat dilaksanakan jika ingin menerajui agenda pengantarabangsaan bahasa Melayu,\nTun Dr. Ismail Abdul Rahman merupakan negarawan hebat yang hadir dalam sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1957 dengan memakai persalinan lengkap baju Melayu dengan keris. Beliau pernah mengungkapkan agar setiap rakyat yang memberikan taat setia kepada negara melengkapkan diri dan mempelajari bahasa kebangsaan. Pemimpin pada hari ini perlu percaya akan keunggulan bahasa Melayu dan tidak boleh hanya melakukannya secara santai sahaja tetapi melakukan transformasi bahasa dan budaya tamadun kita dengan mencontohi tamadun seperti negara China.\nMenurut Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Borhan pula, negara memerlukan sasterawan, negarawan dan budayawan dinamik yang mampu mengolah, membaca dan menterjemahkan kekuatan dalaman yang dimiliki oleh karya agung negara ini dan mampu menggabungkan segala kekuatan elemen tersebut bagi membuanakan dan mengantarabangsakan tradisi ilmu tersebut. \nModerator turut menambah bahawa masyarakat Malaysia perlu memahami dan mengetahui bahawa pada zaman moden ini, UNESCO sebenarnya mengiktiraf beberapa karya klasik Melayu seperti Sulatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah, manakala pantun dan Dondang Sayang dari aspek kebudayaan. \nTambah ahli panel lagi, tidak ada salahnya gagasan mengantarabangsakan bahasa Melayu oleh YAB Perdana Menteri itu sebagai suatu tindakan politik atau suatu usaha mencari satu kekuatan politik kerana Perdana Menteri terdahulu juga berbuat sedemikan.\nBahasa Melayu sebenarnya sudah terbukti dalam sejarah sebagai bahasa ASEAN pada suatu ketika dahulu. Walau bagaimanapun, pelbagai cara perlu dilakukan bagi memastikan hasrat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN menjelang tahun 2025. Contohnya, dengan mencontohi tindakan negara jiran seperti Indonesia yang menyediakan guru bahasa di pihak kedutaannya di seluruh ASEAN dan dunia.\nAhli panel ketiga, iaitu YBhg. Datuk Periasamy Muthan, selaku penganalisis politik pula berkata, apabila sesuatu hasrat telah diutarakan oleh YAB Perdana Menteri, sewajarnya agensi yang berkaitan dengan komunikasi menjalankan pelbagai kempen bagi merealisasikan hasrat tersebut. Oleh itu, perlu ada satu gelombang atau gerakan yang melibatkan semua lapisan masyarakat dalam merealisasikan hasrat tersebut kerana bahasa Melayu merupakan milik semua dan bukan hanya milik orang Melayu semata-mata.\nKita perlu menghidupkan roh bahasa Melayu sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 152. Setakat ini, hanya YAB Perdana Menteri yang dilihat menggunakan bahasa Melayu ketika berurusan di luar negara tetapi menteri lain masih belum menyahut seruan tersebut dan sewajarnya hasrat tersebut dilakukan secara kolektif.\nSebelum mengakhiri perbincangan, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia menyatakan bahawa isu-isu yang dibicarakan ini akan dilanjutkan perbincangannya dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang akan berlangsung pada 22 Mei\u00a0 2022 hingga 24 Mei 2022 di DBP dan mengalu-alukan penyertaan semua pihak." "Ubat-ubatan Cetakan Tiga Dimensi: Perubahan Baharu Bidang Farmaseutikal\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Malaysia perlu mengorak langkah ke arah pembuatan ubat-ubatan dengan menggunakan mesin pencetak tiga dimensi bagi memastikan sektor perubatan dan farmaseutikal mengalami perubahan positif untuk kesihatan rakyat di negara ini.\nMenyentuh perihal ubat-ubatan cetakan tiga dimensi, rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) menampilkan Dekan Fakulti Farmasi Universiti Teknologi MARA Cawangan Selangor, YBhg. Profesor Dato\u2019 Dr. Abu Bakar Abdul Majeed sebagai tetamu undangan untuk berkongsikan pendapat berkenaan dengan topik berkenaan.\nSesi perkongsian dimulakan dengan penjelasan mengenai konsep cetakan tiga dimensi oleh YBhg. Profesor Dato\u2019 Dr. Abu Bakar Abdul Majeed. Beliau menyatakan bahawa cetakan tiga dimensi dalam bidang farmaseutikal ini agak baharu dan masih berada pada peringkat kajian. Hal ini dikatakan demikian kerana bagi menghasilkan sesuatu ubat yang berkesan memerlukan proses yang melalui tiga perkara penting, iaitu keberkesanan, keselamatan dan kualiti.\nJika kita menelusuri sejarah penghasilan ubat-ubatan di Mesir dan China, pembuatan ubat-ubatan adalah dengan menggunakan kaedah tradisional, yakni dengan menggunakan tangan manusia sepenuhnya dan bersumberkan tumbuh-tumbuhan, mineral galian dan haiwan.\nMenurutnya, pada kurun ke-19, pembuatan ubat-ubatan dicipta daripada bahan kimia. Sejak adanya kewujudan bahan kimia, pengilangan bahan ubat-ubatan dilihat beroperasi dengan pantas. Apabila elektrik dan elektronik diperkenalkan, pengilangan ubat-ubatan bertambah maju. Hal ini menunjukkan satu kemajuan yang baik. Apabila teknologi komunikasi dan komputer pula diwujudkan, dua teknologi ini digandingkan dengan pengilangan ubat-ubatan, namun belum berada pada tahap yang tinggi. Kini, zaman Revolusi Perindustrian 4.0 dilihat mampu membantu pengilangan ubat-ubatan melalui cetakan tiga dimensi.\nTambah beliau, untuk mencetak ubat-ubatan dalam tiga dimensi, ubat-ubatan tersebut perlu direka bentuk dengan menggunakan komputer dan dipindahkan ke mesin pencetak tiga dimensi. Namun begitu, tidak semua mesin pencetak tiga dimensi dapat melakukan tugasan ini kerana terdapat beberapa keperluan yang perlu dipenuhi oleh sesuatu mesin pencetak.\nAntara kelebihan cetakan ubat-ubatan dengan menggunakan mesin pencetak tiga dimensi termasuklah dapat mencetak ubat itu dengan lapisan tertentu dan mengikut keperluan pesakit. Kadar tindak balas ubat-ubatan dalam jangka masa tertentu juga memerlukan mesin pencetak tiga dimensi membuat lapisan demi lapisan agar setiap lapisan itu cair di dalam perut mengikut masa tertentu serta bahan aktif akan diserap ke dalam darah.\nBeliau turut berpandangan bahawa berkemungkinan wujudnya satu senario pada masa hadapan, yakni seorang pesakit diberikan preskripsi ubat, kemudiannya diserahkan kepada ahli farmasi dan ubat yang dikehendaki dicetak di farmasi itu mengikut keperluan. Bukan itu sahaja, mesin pencetak tiga dimensi dan keperluan lain berkaitan dengan cetakan tiga dimensi berkemungkinan boleh dibeli dan diletakkan di rumah sendiri. Namun begitu, hal ini memerlukan latihan dan kepakaran tertentu.\nDari segi pengawalaturan, semua ubat memerlukan kawalan yang ketat untuk memastikan ubat itu berkesan, selamat dan berkualiti. Oleh yang demikian, isu cetakan ubat-ubatan secara cetakan tiga dimensi perlu dilihat dari sudut undang-undang bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan.\nSebelum mengakhiri sesi perkongsiannya, beliau menyatakan bahawa bagi menjayakan pembuatan ubat-ubatan dengan menggunakan cetakan tiga dimensi, kerjasama daripada ahli farmasi, ahli kimia, saintis bahan dan pereka bentuk tiga dimensi amat diperlukan.\nAhli farmasi berperanan bagi memastikan kaedah dan proses yang dilalui untuk menghasilkan ubat-ubatan adalah betul. Bahan untuk pembuatan ubat-ubatan ini adalah sangat penting. Hal ini memerlukan kemahiran saintis bahan dan doktor. Pereka bentuk tiga dimensi pula perlu memastikan segala hal ehwal reka bentuk di komputer dan mesin pencetak tiga dimensi berjalan dengan lancar." "Pindaan Akta 655 Mampu Tangani Masalah Pencemaran Air\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) membolehkan pengguna membuat tuntutan terhadap pihak yang mencemarkan bekalan air seterusnya mampu mengekang dan menangani masalah pencemaran air.\nMenteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), YB Nik Azmi Nik Ahmad menyatakan bahawa kementeriannya menyasarkan pindaan akta ini dapat dibentangkan di Parlimen pada Jun 2023.\nPindaan akta ini melibatkan beberapa seksyen, iaitu peningkatan tempoh hukuman dan kadar denda ke atas tindakan yang berisiko menyebabkan pencemaran kepada mana-mana alur air atau sistem bekalan air. Pindaan melibatkan peningkatan denda daripada RM100 000 kepada RM10 juta, manakala hukuman penjara dinaikkan daripada setahun kepada 15 tahun atau kedua-duanya sekali.\nSelain itu, pindaan juga melibatkan penyenaraian kesalahan baharu seperti apa-apa perbuatan yang menyebabkan atau yang berkemungkinan menyebabkan penutupan sistem bekalan air atau gangguan bekalan air kepada pengguna serta melepaskan apa-apa kumbahan, efluen, benda atau bahan ke dalam mana-mana pukat.\nKatanya lagi, pindaan tersebut juga membolehkan pemegang lesen perkhidmatan air menuntut semula kos bagi memulihkan sistem bekalan air yang telah dicemari daripada pihak yang didapati bersalah yang menyebabkan pencemaran air.\nNRECC juga akan meneruskan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) bagi menangani kejadian pencemaran secara berkesan.\nMenurut beliau, pindaan akta tersebut akan dijalankan secara berfasa, iaitu melibatkan elemen kompaun dan penalti bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil terhadap pelaku dan pesalah yang menyebabkan pencemaran alam sekitar dalam Fasa Pertama. Pindaan Fasa Pertama ini sedang dimurnikan dan dijangkakan akan dibentangkan di Parlimen pada suku tahun keempat tahun ini.\nPindaan Fasa Kedua yang memperkasakan Akta 127 secara menyeluruh masih diperhalusi dan diteliti bersama-sama pakar undang-undang dan alam sekitar. Berdasarkan penelitian kementerian, draf pindaan Fasa Kedua perlu melibatkan sesi libat urus bersama-sama pihak berkepentingan dan pemegang taruh yang berkaitan seperti agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pihak penggerak projek pembangunan dan pihak industri agar dapatannya adalah lebih terperinci.\nMengulas lebih lanjut, beliau menyatakan bahawa kerajaan juga sedang melaksanakan beberapa pendekatan bukan struktur bagi memberikan pendidikan dan kesedaran awam tentang kelestarian sungai serta memastikan kualiti air sungai terjamin.\nPendekatan yang dilaksanakan termasuklah Program Pembangunan Denai Sungai Kebangsaan, sambutan Hari Air dan Hari Sungai, Rakan Alam Sekitar, sambutan Hari Alam Sekitar, aktiviti pembersihan sungai dan sebagainya yang bertujuan untuk menonjolkan kepentingan sungai sebagai sumber air.\nSusulan itu, tindakan bersepadu daripada semua pihak diperlukan dalam menangani isu pencemaran air secara berkesan, terutamanya peranan kerajaan negeri memandangkan sumber air terletak di bawah bidang kuasanya. Kerajaan negeri pula berperanan penting dalam mengawal pembangunan kawasan yang berhampiran dengan sumber air, melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan yang berkesan.\nPada masa yang sama, pihak berkuasa tempatan juga memainkan peranan bagi mencegah pencemaran terhadap sumber air daripada air basuhan seperti dari medan selera, rumah penyembelihan, bengkel cuci kereta dan sebagainya." "Malaysia dan Singapura Kongsi Kepakaran Perkukuh Bidang Pertanian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Malaysia dan Singapura bersedia untuk bekerjasama dan memberikan komitmen bagi memperkukuh perdagangan dua hala dalam bidang pertanian seiring dengan matlamat untuk menjamin sumber bekalan makanan yang mampan dan berterusan.\nBerdasarkan satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) hari ini, antara perkara yang dibincangkan semasa kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Singapura, TYT Vanu Gopala Menon ke Malaysia di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur adalah berkenaan dengan kepentingan membangunkan pertanian moden dan aplikasi teknologi pintar dalam sektor pertanian.\nMenteri MAFS, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu berkata, \u201cKestabilan bekalan makanan ialah satu daripada isu global yang perlu ditangani oleh Malaysia bersama-sama Singapura.\u201d\nMenurut beliau, pertemuan ini adalah penting bagi membincangkan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara dalam sektor pertanian, terutamanya berkaitan dengan perdagangan agromakanan.\nDalam pertemuan itu juga, Malaysia juga mempelawa Singapura untuk bersama-sama meningkatkan bekalan makanan melalui pelaburan dalam sektor pertanian moden di Malaysia.\nSingapura yang merupakan rakan dagang pertanian yang penting bagi Malaysia pula bersedia untuk berkongsikan teknologi dan kepakarannya dalam bidang pertanian pintar.\nUntuk makluman, nilai perdagangan dalam sektor pertanian antara Malaysia dengan Singapura adalah berjumlah RM15.99 bilion dari Januari 2022 hingga Oktober 2022.\nTurut hadir dalam sesi pertemuan ini ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MAFS, YBhg. Datuk Azah Hanim Ahmad dan para pegawai kanan MAFS serta wakil Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura di Malaysia." "Sumber Perikanan Negara Masih Mencukupi \u2013 MAFS\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHutan Melintang \u2013 Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) komited membantu kumpulan sasar seperti nelayan laut dan penternak akuakultur untuk terus menyumbang kepada keterjaminan bekalan makanan berasaskan ikan.\nSusulan itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu telah mengadakan lawatan ke kilang pembuatan makanan, QL Foods untuk melihat operasi penghasilan produk makanan sumber laut.\nSumber perikanan adalah antara keperluan penting bagi rakyat dan permintaan makanan berasaskan sumber laut ini sentiasa meningkat seiring dengan populasi penduduk Malaysia.\nSemasa lawatan tersebut, beliau turut menyampaikan bantuan Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) dan Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND). Pengagihan bantuan PPSPA sebanyak RM265 661 diberikan kepada 28 penerima yang terkesan akibat bencana banjir, manakala ESHND pula disasarkan kepada 3320 orang penerima elaun nelayan darat dengan peruntukan berjumlah RM2 515 000 bagi memastikan keterjaminan makanan dalam sektor perikanan darat.\nPada masa yang sama, bantuan input peralatan akuakultur 2022 sebanyak RM2 875 150 turut diagihkan kepada 490 orang penternak dan sebanyak RM210 000 pula diagihkan bagi Bantuan Insentif Peningkatan Kemudahan Biosekuriti Perikanan.\nSelain itu, peruntukan sebanyak RM174 520 di bawah program MAFS PRIHATIN turut diagihkan bagi menghargai sumbangan Ketua Jaringan Perikanan sepanjang penggal 2021-2023. Sebanyak 1031 orang ahli telah menerima empat jenis peralatan keselamatan, iaitu ves keselamatan, alat pertolongan cemas, lampu suluh jenis kalis air dan topi. Bantuan peralatan keselamatan nelayan juga telah diagihkan semasa sesi libat urus bersama-sama Persatuan Nelayan Kawasan Hilir Perak.\nYB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu berkata, \u201cBantuan yang disampaikan diharapkan dapat membantu pihak yang terkesan akibat banjir untuk bangkit semula. Bantuan ini juga membuktikan bahawa keprihatinan MAFS bagi meringankan bebanan mereka dalam menghadapi tekanan ekonomi disebabkan oleh kenaikan kos sara hidup, pembasmian kemiskinan dan peningkatan pendapatan melalui projek ekonomi berkaitan dengan akuakultur dan komuniti perikanan darat.\u201d\nJelas beliau lagi, bantuan ini juga diharapkan dapat mempertingkatkan sosioekonomi dan daya saing komuniti perikanan melalui pelbagai bantuan yang disediakan seperti insentif bantuan dalam bentuk peralatan mesin dan kemudahan fasiliti yang meliputi seluruh pengusaha yang terlibat dalam rantaian bekalan industri perikanan termasuklah penternak akuakultur, usahawan perikanan dan nelayan darat.\nBantuan yang bernilai RM6 040 331 yang disalurkan bukan sahaja perlu dimanfaatkan oleh penerima dengan sebaik-baiknya, malah sebagai galakan kepada penerima yang terkesan akibat musibah banjir.\nMengulas dengan lebih lanjut, beliau juga menasihatkan DOF agar sentiasa bersedia dalam memberikan bantuan teknikal bagi membolehkan golongan sasar dapat meneruskan perusahaan mereka sekali gus memastikan sumber makanan negara terjamin dan mencukupi." "Sumber Alam Mampu Memperkukuh Ekonomi Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSetiu \u2013 Selain terkenal dengan pelbagai budaya, Malaysia juga popular sebagai \u201cMega Biodiversity Country\u201d di seluruh dunia. Baru-baru ini, rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menampilkan Ketua Unit Pembangunan Inklusif dan Kemakmuran, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Encik Asfaazam Kasbani bagi membicarakan topik \u201cPemeliharaan Sumber Alam, Jamin Ekonomi Setempat\u201d.\nBeliau membuka tirai perkongsiannya dengan menyatakan bahawa peranan yang dilaksanakan oleh UNDP dalam membantu kerajaan adalah dari segi pembangunan kapasiti, pembangunan polisi, mendemonstrasikan aktiviti yang boleh direplikasikan di mana-mana agensi dan pihak kerajaan negeri. Mandat UNDP lebih menjurus kepada pembangunan dasar, pembasmian kemiskinan, tadbir urus, kesaksamaan gender, alam sekitar dan pembangunan tenaga yang mampan.\nDalam sesi temu bual ini juga, beliau turut berkongsikan hala tuju yang telah diatur oleh UNDP bagi daerah Setiu di Terengganu. Menurutnya,\nDi Setiu, UNDP membantu dari segi inisiatif untuk menjadikan budaya dan seni di sini dapat digunakan dalam bentuk pelancongan dan memastikan pelancongan dalam keadaan kebiasaan baharu ini terkawal dan mampan. Dalam hal ini, UNDP akan menghubungkan matlamat pembangunan mampan yang memfokuskan kepada tiga perkara, iaitu sosial, ekonomi dan persekitaran.\nPada masa yang sama, beliau juga mengupas perihal ekopelancongan dan pelancongan secara besar-besaran. Konsep ekopelancongan adalah melibatkan komuniti itu sendiri dalam memberikan kerjasama dan memastikan kawasan tempatan seperti tanah lembap dan sungai Setiu digunakan dan dijaga selepas melancong.\nSementara itu, pelancongan secara besar-besaran pula merujuk kehadiran pelancong beramai-ramai ke suatu tempat, kemudian menetap di tempat tersebut dalam tempoh masa yang agak lama serta menggunakan sumber tempatan tanpa mengira isu tempatan di tempat berkenaan.\nTerlalu banyak peluang dan potensi pelancongan yang boleh diketengahkan di Setiu. Elemen yang unik, budaya dan komuniti adalah antara perkara yang menarik perhatian para pelancong untuk melancong di Setiu.\nPada akhir sesi temu bual, beliau menyatakan bahawa program dan projek yang dilaksanakan oleh UNDP bukan sekadar di Setiu sahaja, malah terdapat juga projek yang dijalankan di Manjung dan Mersing dengan bantuan daripada Kementerian Kewangan Malaysia." "Berpeluh Membakar Lemak?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBerpeluh akibat senaman ialah proses semula jadi badan. Walau bagaimanapun, peluh sering dilihat sebagai gangguan. Berpeluh penting bagi mengawal dan mengekalkan suhu badan. Namun begitu, berpeluh juga boleh menyebabkan bau badan dan menjadikan seseorang itu tidak selesa.\nBerpeluh dengan banyak semasa bersenam merupakan perkara biasa. Sesetengah orang mungkin berpeluh lebih banyak akibat intensiti senaman yang tinggi, jenis pakaian yang dipakai atau suhu persekitaran semasa bersenam.\nKita juga sering mendengar bahawa berpeluh semasa bersenam akan memaksimumkan pembakaran lemak. Kebanyakan orang percaya bahawa lebih banyak peluh bermakna senaman yang dilakukan adalah lebih baik dan lebih banyak kandungan lemak yang telah dibakar.\nBertahun-tahun lamanya, teori kadar perpeluhan menjadi parameter untuk mengukur keberkesanan senaman dan pembakaran kalori. Namun demikian, benarkah teori tersebut? Adakah lebih banyak peluh yang dikeluarkan bermaksud lebih banyak lemak yang dibakar?\nJawapan kepada persoalan tersebut ialah tidak! Jumlah peluh bukanlah pengukur senaman yang baik atau peningkatan kehilangan lemak. Kenyataan tersebut adalah mitos semata-mata.\nBerpeluh\nManusia ialah mamalia yang mampu berlari jarak jauh. Walaupun kebanyakan mamalia lain boleh memecut lebih pantas daripada manusia disebabkan oleh beberapa kelebihan lain seperti berkaki empat, namun manusia juga boleh menjadi pelari jarak jauh. Jadi, apakah kaitannya dengan peluh?\nPada asasnya, berpeluh ialah cara semula jadi badan untuk mengawal suhu badan. Badan yang berpeluh ialah fenomena yang menjadikan badan lebih sejuk sebagai tindak balas kepada kenaikan suhu badan.\nBerpeluh menyebabkan badan mengeluarkan air dan garam. Peluh akan tersejat ke udara bersama-sama haba daripada badan. Suhu badan manusia yang normal biasanya sekitar 37 darjah Celsius. Namun begitu, sekiranya badan menjadi terlalu panas, sama ada disebabkan oleh suhu persekitaran atau pergerakan manusia yang aktif, badan mempunyai mekanisme semula jadi yang sangat canggih untuk mengesan dan mengawal suhu badan supaya tidak terlalu tinggi.\nSebaik sahaja suhu dalaman badan mula meningkat, hipotalamus akan menghantar isyarat kepada kelenjar peluh yang berada di seluruh badan bahawa sudah tiba masanya untuk mula menyejukkan badan dengan mengeluarkan peluh. Hipotalamus ialah struktur dalam otak yang menghubungkan sistem endokrin dengan sistem saraf. Fungsi utama hipotalamus adalah untuk mengekalkan keseimbangan dalaman badan, termasuklah keseimbangan suhu badan manusia, yang dikenali sebagai homeostasis.\nWalau bagaimanapun, proses menyejukkan badan tidaklah semudah dengan peluh yang hanya menitis daripada badan. Sebahagian daripada peluh ini perlu disejat daripada kulit untuk menyejukkan badan dan menjadikan proses perpeluhan ini benar-benar berfungsi. Penyejukan badan melalui peluh bergantung pada prinsip fizik yang dipanggil pengewapan haba.\nProses pengewapan haba memerlukan tenaga untuk menyejatkan peluh daripada kulit. Tenaga yang dimaksudkan ialah haba. Haba badan yang berlebihan digunakan untuk menukarkan peluh kepada wap. Hal tersebut menjadikan kulit semakin sejuk.\nSemasa berpeluh, seseorang itu juga akan kehilangan air. Air penting untuk kegunaan organ dalam badan. Hal ini bermakna apabila seseorang itu berpeluh, mereka perlu memastikan air diminum dengan banyak supaya air yang hilang akibat peluh dapat digantikan.\nPeluh, Kalori dan Lemak\nBerpeluh itu tidak membakar jumlah kalori yang boleh diukur, namun berpeluh mengeluarkan cecair yang akan menyebabkan seseorang itu kehilangan berat air.\nKehilangan berat badan akibat kehilangan air melalui peluh merupakan kehilangan berat badan secara sementara waktu. Sebaik sahaja kita meminum air atau makan semula selepas melakukan senaman, kedua-dua perkata tersebut akan digantikan semula bagi sebarang berat badan yang hilang semasa senaman.\nOleh hal yang demikian, bagaimanakah seseorang itu boleh kehilangan lemak?\nSatu-satunya cara untuk mencapai kehilangan lemak adalah dengan mencipta defisit kalori melalui pemakanan yang sihat dan senaman yang konsisten. Sebelum ini, teori hubungan antara peluh dengan jumlah kalori atau lemak yang dibakar ini telah tercipta, walaupun tanpa sebarang bukti atau kebenaran untuk menyokong teori ini.\nOleh sebab itu, memaksa diri untuk lebih berpeluh dengan bersenam dalam keadaan panas atau memakai pakaian yang tebal tidak akan menyebabkan kehilangan lemak. Peluh hanyalah menjadi petunjuk bahawa badan kita telah kehilangan air dan bukannya lemak!\nSesetengah orang mendakwa bahawa aktiviti senaman seperti yoga Bikram membolehkan lemak dibakar sehingga 1000 kalori dalam masa sejam, namun dakwaan itu berkemungkinan palsu.\nYoga Bikram ialah yoga yang dilakukan di dalam bilik yang dipanaskan dengan suhu antara 38 darjah Celsius hingga 40 darjah Celsius. Kajian mendapati bahawa hanya 330 kalori terbakar bagi individu wanita, manakala sebanyak 460 kalori terbakar bagi individu lelaki dalam kelas yoga Bikram yang diadakan selama 90 minit. Jumlah tersebut adalah bersamaan dengan aktiviti berjalan pantas sejauh 5.6 kilometer untuk jumlah masa yang sama.\nSesetengah pendapat mengatakan bahawa tenaga diperlukan untuk mengangkut ion yang membolehkan air bergerak ke dalam kelenjar untuk dirembeskan sebagai peluh. Walau bagaimanapun, jumlah kalori yang dibakar tetap tidak banyak. Dengan kata lain, hanya sedikit tenaga diperlukan untuk berpeluh dan hal tersebut tidak mencukupi untuk menghasilkan perbezaan yang ketara terhadap berat badan.\nSecara umumnya, kalori tetap dibakar semasa bersenam walaupun seseorang itu tidak berpeluh dengan banyak atau tidak berpeluh sama sekali. Sebagai contohnya, seseorang itu masih membakar kalori semasa berenang, berjoging, berbasikal atau berlari pada musim sejuk.\nHal ini dikatakan demikian kerana aktiviti fizikal itu sendiri sebenarnya yang membakar kalori. Lebih tinggi intensiti senaman dan lebih banyak otot yang digunakan dengan lebih lama senaman dilakukan, maka lebih banyak kalori dibakar dan lebih banyak peluh serta haba dikeluarkan.\nKuantiti peluh yang dikeluarkan oleh seseorang biasanya paling ketara semasa melakukan senaman kardio berbanding dengan senaman latihan bebanan. Namun demikian, hal itu tidak bermakna seseorang itu tidak melakukan senaman yang baik atau kalori tidak terbakar. Keadaan tersebut hanya bermakna suhu badan seseorang itu tidak meningkat dengan banyak.\nKadar Perpeluhan\u00c2\u00a0\nAntara faktor yang menyumbang kepada kadar perpeluhan termasuklah suhu, kelembapan, genetik, berat badan, pengambilan air, jantina, umur dan tahap kecergasan. Daripada semua faktor ini, berat badan dan tahap kecergasan ialah faktor yang paling mempengaruhi kadar perpeluhan semasa bersenam.\nBadan perlu menggunakan lebih banyak tenaga untuk berfungsi pada berat yang lebih tinggi. Hal ini mengakibatkan lebih banyak peluh terhasil kerana terdapat lebih banyak jisim badan untuk disejukkan.\nSeseorang yang lebih cergas biasanya akan lebih cepat berpeluh kerana badan lebih cekap mengawal suhu. Berpeluh lebih awal bermakna badan boleh menjadi lebih cepat sejuk. Keadaan ini juga membolehkan seseorang itu bersenam dengan lebih lama pada intensiti yang lebih tinggi. Sebaliknya, orang yang tidak cergas atau lebih berat mungkin juga berpeluh dengan lebih banyak yang disebabkan oleh jisim badan yang besar yang perlu disejukkan.\nUntuk menurunkan berat badan, seseorang itu perlu membakar lebih banyak kalori daripada keperluan yang diambil. Dianggarkan sekitar 3500 kalori bersamaan dengan 453 gram lemak. Oleh hal yang demikian, seseorang itu perlu membakar lebih daripada 3500 kalori daripada jumlah kalori yang diambil melalui pemakanan untuk menurunkan berat badan sebanyak 453 gram.\nCara yang terbaik untuk mencapai berat badan yang sihat adalah dengan mengamalkan gaya hidup aktif. Pengambilan diet yang sihat dan bersenam dengan konsisten, misalnya selama 30 minit pada setiap sesi sebanyak lima kali seminggu merupakan cara yang terbaik untuk mencapai matlamat penurunan berat badan dengan selamat.\n\u00a0\nDr. Nursyuhada Mohd Sukri, Ketua Jabatan Sukan Prestasi Tinggi, Akademi Kecergasan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia." "Kes Demam Denggi Kian Meningkat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebanyak 2149 kes kes demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-7 tahun 2023 berbanding dengan 1967 kes pada minggu sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 182 kes (9.3 peratus). Pada masa yang sama, sebanyak empat kematian telah dilaporkan akibat komplikasi demam denggi pada minggu ini.\nBerdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga kini adalah sebanyak 15 243 kes berbanding dengan 4950 kes bagi tempoh yang sama bagi tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 10 293 (207.9 peratus), manakala sebanyak 13 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding dengan satu kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2022.\nSebanyak 53 lokaliti kawasan panas (hotspot) berada di Selangor, 20 lokaliti kawasan panas di Sabah, empat lokaliti kawasan panas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (WPP) serta dua lokaliti kawasan panas di Pulau Pinang.\nSementara itu, sebanyak lapan kes survelan Chikungunya direkodkan pada minggu ini dengan empat kes dari Pulau Pinang, tiga kes dari Selangor dan satu kes dari WPKL dan WPP, manakala jumlah kumulatif kes ini hingga kini ialah 94 kes.\nBagi survelan Zika pula, sebanyak 328 sampel darah dan satu sampel urin telah dijalankan saringan Zika dan hasilnya menunjukkan negatif bagi semua sampel tersebut.\nKetua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Seri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, \u201cOrang ramai tidak seharusnya alpa apabila melakukan pelbagai aktiviti sama ada aktiviti beriadah dan kegiatan rekreasi bersama-sama rakan atau keluarga kerana berkemungkinan waktu kegiatan ini dilakukan adalah serentak dengan waktu puncak gigitan nyamuk Aedes, iaitu antara pukul enam pagi hingga lapan pagi dan pukul enam petang hingga lapan malam.\u201c\nBeliau juga menasihatkan orang ramai agar memakai pakaian yang berwarna cerah dan menutup anggota badan serta menggunakan bahan penghalau nyamuk ketika melakukan aktiviti luar, terutamanya pada waktu puncak gigitan nyamuk Aedes.\nJelas beliau lagi, inisiatif lain bagi membebaskan diri daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes adalah dengan melupuskan sampah di tempat yang telah ditentukan.\nDapatkan rawatan awal sekiranya mengalami gejala demam denggi seperti demam tinggi secara tiba-tiba, sakit otot atau sakit sendi, sakit kepala dan sakit pada belakang mata. Jika terdapat tanda bahaya demam denggi pula, misalnya muntah, cirit-birit atau perdarahan, segeralah dapatkan rawatan lanjut.\nUntuk makluman, orang awam boleh mendapatkan status situasi denggi bagi tempat yang akan dilawati melalui laman sesawang iDengue atau melalui aplikasi iDengue yang boleh dimuat turun menerusi Google Play Store." "Pertukaran MoA UiTM-NUS Memperkukuh Kerjasama Dua Hala\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Buloh \u2013 Majlis pertukaran memorandum perjanjian (MoA) antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan National University of Singapore (NUS) telah diadakan di Auditorium Khalid Yusoff, Fakulti Perubatan, UiTM Kampus Sungai Buloh, semalam.\nPertukaran MoA ini memperkukuh kerjasama dua hala antara kedua-dua belah pihak sekali gus meningkatkan kompetensi UiTM pada peringkat antarabangsa melalui program perkongsian kepakaran, penganjuran bersama pertandingan antarabangsa, pertukaran staf, aktiviti penyelidikan dan penerbitan.\nDalam majlis tersebut, dokumen perjanjian berkenaan telah diserahkan oleh Penolong Naib Canselor UiTM Global, YBrs. Profesor Dr. Shahriman Zainal Abidin yang mewakili Naib Canselor, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd Janor kepada Pengarah Program Sains Forensik NUS, YBrs, Profesor Madya Dr. Stella Tan serta disaksikan oleh Dekan Fakulti Perubatan, YBrs. Profesor Madya Dr. Fazah Akhtar Hanapiah.\nKerjasama dua hala ini dapat menggalakkan aktiviti penyelidikan dan penerokaan kerjasama antarabangsa baharu pada masa akan datang yang mengarah kepada matlamat untuk mencapai agenda dalam pelan strategik UiTM 2025.\nBersempena dengan majlis ini juga, sebuah bengkel entomologi forensik telah dianjurkan dan disertai oleh 38 orang pelajar yang terdiri daripada 17 orang pelajar Sarjana Sains Forensik dan 21 orang pelajar prasiswazah daripada pelbagai bidang dari NUS. Bengkel yang dianjurkan oleh Institut Bioteknologi Perubatan Molekul ini ialah satu daripada program pertukaran kepakaran yang telah dirintis oleh ahli entomologi dari Fakulti Perubatan UiTM, iaitu YBrs. Profesor Madya Dr. Heo Chong Chin melalui sesi perkongsian dan pembelajaran subjek Entomologi Forensik secara dalam talian sejak tahun 2020.\nBengkel selama lima hari yang bermula dari 20 Februari 2023 hingga 24 Februari 2023 merangkumi beberapa siri syarahan, perbincangan, kerja lapangan, penilaian dan melibatkan perkongsian kepakaran daripada pensyarah UiTM seperti YBrs. Profesor Madya Dr. Razuin Rahimi dan YBrs. Profesor Madya Dr. Heo Chong Chin.\nSelain itu, aktiviti pengajaran dan pengurusan bengkel entomologi forensik ini turut melibatkan YBrs. Profesor Dr. Stella Tan dan YBrs. Dr. Shawn Lee serta Mr. Ng Wei Bo yang merupakan pensyarah pengiring bagi rombongan NUS.\nPada masa yang sama, antara penceramah lain yang turut menyertai bengkel ini dan terlibat dalam pengajaran kepada pelajar NUS ialah felo penyelidik, YBrs. Dr. Tania Ivorra, pasca kedoktoran, YBrs. Dr. Abby Jones dan para pelajar pada peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah di bawah seliaan YBrs. Profesor Madya Dr. Heo Chong Chin.\nUntuk makluman, UiTM ialah sebuah universiti komprehensif yang terbesar di Malaysia dan menyediakan pendidikan inovatif dengan infrastruktur serta teknologi terkini merangkumi 34 kampus, empat kolej pengajian, 13 fakulti dan sembilan pusat akademik di seluruh negara.\nUiTM juga menawarkan lebih daripada 500 program akademik pada peringkat asasi, pradiploma, diploma, sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah serta program profesional. UiTM sentiasa meluaskan akses pendidikan tinggi dan memainkan peranannya dalam pembinaan negara dengan menyerlahkan potensinya dan memperoleh pelbagai pencapaian terhebat.\nDengan lebih daripada 900 000 alumni dalam bidang sains, teknologi, kemanusiaan dan keusahawanan, UiTM menawarkan peluang dalam membentuk pemimpin pada peringkat kebangsaan, industri dan global bagi mencapai aspirasi untuk menjadi sebuah universiti terkemuka di dunia menjelang tahun 2025." "Uniknya Fenomena Laut Terbelah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nFenomena laut terbelah berlaku lagi pada hari Selasa dan Rabu minggu ini di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi susulan fenomena air surut penuh. Kejadian tahunan ini dinamakan sebegitu kerana kewujudan beting pasir hingga menampakkan laut seolah-olah terbelah dua.\nFenomena laut terbelah ini membo\u00adlehkan pengunjung pantai tersebut berjalan kaki merentasi beting pasir, seolah-olah seperti berjalan di atas lautan sejauh 600 meter hingga ke Pulau Penyu, Pulau Kelam Baya dan Pulau Cabang. Beting pasir yang terbentuk lebih kurang satu meter itu seolah-olah membentuk jambatan yang menghubungkan kawasan pantai menuju ke pulau tersebut.\nSelain itu, pengunjung dapat menyaksikan pelbagai hidupan laut yang biasanya ha\u00adnya ditemukan ketika melakukan selam skuba seperti ikan sebelah, cacing laut, ketam dan pena laut. Pengunjung juga dapat menyaksikan sendiri tapak sulaiman berkaki lapan yang biasanya turut terdampar di beting pasir tersebut.\nWalau bagaimanapun, pengunjung hanya mempunyai masa selama sejam untuk berada di beting pasir tersebut sebelum air laut kembali pasang semula. Namun demikian, masa selama sejam itu sudah memadai untuk pengunjung mengabadikan kenangan dengan mengambil gambar di kawasan laut terbelah tersebut.\nFenomena unik yang hanya berlaku pada Februari ini menjadikan kawasan ini menjadi tumpuan ramai dari dalam dan luar pulau peranginan itu yang berpusu-pusu mengambil kesempatan untuk merasai suasana berjalan di tengah laut. Fenomena air surut penuh turut berlaku di beberapa kawasan pantai lain seperti di Pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor di Perak dan Pantai Mek Mas, Kuala Besar di Kelantan.\nBagi masyarakat setempat, mencari hidupan laut dan ikan kecil ketika air surut penuh menjadi sebahagian daripada aktiviti riadah yang menyeronokkan. Aktiviti ini biasanya dilakukan dengan menggunakan penyauk ikan sambil berjalan di sekitar kawasan air cetek ketika musim air laut surut besar di sepanjang pantai. Hasil yang boleh diperoleh termasuklah ikan nemo, landak laut dan anak udang kara untuk dijadikan hidupan peliharaan bagi penggemar ikan akuarium. Fenomena ini juga turut memberikan kesempatan kepada penduduk untuk mencari gamat di celah-celah batu karang.\nAir surut penuh ialah kejadian air pasang surut yang boleh dikatakan antara kekuatan alam semula jadi yang paling unggul di planet bumi. Pasang surut ialah kejadian naik dan turun paras air di lautan yang bersilih ganti. Kejadian air pasang surut terbentuk akibat tindak balas lautan terhadap daya graviti yang dijana ketiga-tiga objek cakerawala, iaitu bumi, bulan dan matahari.\nKejadian pasang dan surut air dicetuskan oleh daya graviti bulan dan matahari yang bertindak ke atas perairan bumi. Kekuatan daya graviti itu akan berubah apabila kedudukan relatif bumi, matahari dan bulan berubah. Hal ini dapat dilihat dengan jelas semasa berlaku terbit dan terbenamnya matahari dan bulan, fasa bulan dan musim yang berubah sepanjang tahun. Perubahan ini bersifat kitaran, yakni berulang dari semasa ke semasa dan mempunyai kesan yang dapat diukur. Walaupun matahari turut mempengaruhi air pasang laut, namun bulan memainkan peranan yang lebih besar kerana jaraknya yang lebih dekat dengan bumi berbanding dengan matahari.\nAspek kekuatan dan arah tarikan graviti merupakan mekanisme yang menyebabkan titisan molekul air digerakkan dan menghasilkan fenomena ini. Walau bagaimanapun, hal ini turut bergantung pada lokasi sesuatu objek di permukaan bumi.\nAir akan pasang dan surut sebanyak dua kali sehari dalam masa 24 jam, yakni membawa perubahan air pasang dan surut pada setiap 12 jam. Perubahan gelombang air ini juga boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu pasang surut perbani dan pasang surut anak. \nIstilah pasang surut perbani atau air pasang besar berasal daripada konsep pasang surut dalam bahasa Inggeris yang bermaksud muncul ke hadapan. Pasang surut perbani berlaku sebanyak dua kali setiap bulan pada sepanjang tahun. Air pasang surut ini terjadi akibat berlakunya fasa bulan purnama dan fasa anak bulan.\nPada masa yang sama, bulan, bumi dan matahari berada pada garisan yang selari. Pada waktu fasa bulan purnama, bumi akan berada di antara bulan dengan bumi, manakala sewaktu anak bulan muncul, bulan akan berada di antara matahari dengan bumi. Pasang surut juga akan menjadi lebih kuat berbanding dengan kelazimannya kerana graviti matahari \u201cditambahkan\u201d sedikit ke zon graviti bulan dan bumi yang menyebabkan pasang surut ini berlaku.\nPembentukan pasang surut anak pula berkait rapat dengan kedudukan bulan yang berada pada kedudukan 90 darjah dengan matahari. Pasang surut ini berlaku apabila bulan dan matahari berada pada kedudukan sudut tepat, maka graviti daripada bulan dan matahari akan bertentangan dan menyebabkan \u201cbonjol\u201d air laut menjadi lebih kuat. Air pasang akan menjadi lebih tinggi dan air surut akan menjadi lebih surut berbanding dengan keadaan biasa.\u00a0Pasang surut anak\u00a0akan berlaku selepas tujuh hari terjadinya\u00a0pasang surut perbani.\nPasang surut yang berlaku di pesisiran pantai boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu pasang menyurut dan pasang banjir yang merujuk arus yang dibawa oleh pasang surut tersebut. Pasang menyurut berlaku apabila arus air yang mengalir bergerak menuju ke lautan, manakala pasang banjir merujuk arus air yang mengalir bergerak menuju ke daratan.\nAir surut penuh yang berlaku di kawasan pantai ialah pasang menyurut. Ketika ini, pinggir air di kawasan pantai akan mengalir jauh ke tengah laut lalu menjadikan pantai lebih kecil. Bulan dan matahari melakukan tindakan graviti di bumi yang menjadikan jisim air ini bergerak secara kitaran.\nKadangkala, daya tarikan graviti bertindak bersama-sama inersia yang dihasilkan oleh gerakan putaran bumi dan air surut penuh berlaku dengan lebih ketara. Oleh sebab kedekatan bulan dengan bumi, tindakan yang dihasilkannya pada jisim air lebih besar daripada matahari.\nFenomena air pasang surut adalah antara konsep semula jadi yang masih sukar untuk difahami dengan sepenuhnya kerana kejadian ini bukan sahaja merangkumi aspek fizik, malah konsep matematik juga diambil kira untuk menjelaskan hubungan antara graviti bumi dengan bulan dan mekanisme yang berlaku di laut." "Pihak Berkuasa Tempatan Disaran Perkasa Bandar Rendah Karbon\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Kerajaan komited untuk terus memperkasakan inisiatif bandar rendah karbon yang menyumbang kepada pengurangan impak perubahan iklim di Malaysia melalui Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dengan kerjasama strategik antara kerajaan negeri dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).\nMenteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Nik Nazmi Nik Ahmad menyarankan agar PBT menetapkan hala tuju dan pendekatan yang bersesuaian dengan konsep bandar rendah karbon bagi menyumbang kepada pengurangan impak perubahan iklim di negara ini.\n\u201cSaranan itu adalah penting bagi mencapai sasaran pengurangan gas rumah kaca (GHG) berdasarkan Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Negara (NLCCM) 2021,\u201d katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2022, baru-baru ini.\nTambahnya, NLCCM telah memberikan panduan kepada pihak berkepentingan seperti pemaju, PBT, perancang bandar, pertubuhan bukan kerajaan dan orang awam bagi menerajui konsep pembangunan mampan secara lestari.\nRancangan dan pembangunan bandar yang mampan serta transformasi bandar di Malaysia kepada bandar rendah karbon adalah amat penting di samping dapat membangunkan ekonomi hijau tempatan, mewujudkan ruang pekerjaan hijau serta menarik pelaburan domestik dan antarabangsa.\nBeliau turut menyatakan bahawa pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bersama-sama kerajaan negeri dan PBT mengikut zon pada tahun ini bagi memberikan penerangan mengenai pelaksanaan NLCCM.\nKonsep ini amat bertepatan dan selaras dengan tonggak utama dalam konsep Malaysia Madani, iaitu kemampanan dan merupakan satu daripada tujuh keutamaan kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12 dengan menyasarkan kewujudan 200 zon rendah karbon dan 1000 rakan kongsi rendah karbon di seluruh negara menjelang tahun 2030.\nJelasnya lagi, pengurangan pelepasan GHG yang dicatatkan pada tahun lalu berjumlah 209 214 tan karbon dioksida bersamaan dengan penanaman 5.2 juta batang pokok. Malaysia perlu terus komited dan progresif dalam menangani isu perubahan iklim bagi mencapai pelepasan GHG sifar bersih selewat-lewatnya pada tahun 2050.\nUntuk makluman, Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2022 adalah untuk mengiktiraf hasil usaha dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri, PBT, badan kerajaan dan organisasi swasta dalam melaksanakan inisiatif pengurangan pelepasan GHG di kawasan masing-masing menerusi program cabaran bandar rendah karban tahun 2030.\nDalam majlis ini, anugerah khas telah dimenangi oleh Majlis Bandaraya Shah Alam bagi kategori Anugerah PBT Paling Aktif, manakala Anugerah Pengurangan Karbon Terbanyak telah dimenangi oleh Majlis Perbandaran Sepang." "Pemikir Intelektual dan Guru Cemerlang Terhebat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBachok \u2013 Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-51 pada tahun ini yang disambut secara gilang-gemilang menyaksikan anak jati dari Sarawak, Datu Dr. Adi Badiozaman @ Badio Tuah dinobatkan sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2022. Beliau menerima wang tunai bernilai RM40 000 dan pingat emas bernilai RM10 000 sumbangan Bank Simpanan Nasional (BSN), serta hadiah iringan berupa plak dan sijil yang disampaikan oleh Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan Kampus Bachok, Kelantan pagi ini.\nPenganugerahan tersebut sebagai menghargai sumbangan, jasa dan perjuangan beliau dalam bidang pendidikan, selain sebagai guru bahasa dan aktivis kesusasteraan Melayu, serta telah memenangi pelbagai anugerah termasuklah penulisan ilmiah dan sastera yang turut dijadikan sebagai buku teks Kesusasteraan Melayu dan Komponen Sastera (Komsas).\nDatu Dr. Adi Badiozaman @ Badio melahirkan rasa terharu dan kesyukuran kerana beliau tidak mengharapkan pengiktirafan. Menurutnya, apa-apa yang diharapkannya adalah untuk membawa perubahan dalam bidang pendidikan.\n\u201cSaya tidak memikirkan perihal anugerah, sebaliknya yang penting bagi saya, apakah yang tersirat dan bukannya yang tersurat kerana itulah yang lebih bermakna dan lebih meresap ke dalam jiwa saya\u201c.\nMenurut beliau, berdasarkan anugerah yang diterimanya kerana memiliki pelbagai kepakaran dan kemahiran, semua kemahiran tersebut saling melengkapi antara satu sama lain. Tidak ada bezanya antara menumpukan pendidikan secara formal dengan bidang penulisan kerana kedua-dua bidang tersebut saling membentuk dirinya untuk berkongsi pengalaman dengan orang lain.\nSementara itu, bidang penulisan juga menerapkan unsur pendidikan dalam ruang lingkup yang lebih besar. Maka itu, tidak ada istilah untuk memisahkan ruang kemahiran pengajaran dan penulisan, sebaliknya saling melengkapi.\n\u201cHal ini diumpamakan seperti tali-temali yang perlu dianyam supaya menghasilkan suatu produk yang dapat dibanggakan kerana hasil ini akan memberikan nilai tersendiri dalam proses pembentukan insan supaya menjadi lebih bertanggungjawab, beraklak mulia dan dapat memainkan peranan sebagai khalifah di bumi Allah. Pada masa yang sama, saya dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagai hamba Allah.\u201d\nTambahnya lagi, terdapat ruang besar yang dapat dimanfaatkan bersempena dengan sambutan dan perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ini. Yang pertama ialah kesedaran untuk meningkatkan tahap profesionalisme dalam kalangan guru. Profesionalisme tersebut perlu disandarkan kepada ilmu pengetahuan pendidikan sama ada isi kandungan ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan mata pelajaran yang diajar oleh guru ataupun yang berkaitan dengan pedagogi ilmu pengetahuan. Oleh sebab kini terdapat keinginan dalam kalangan generasi dewasa untuk melanjutkan pelajaran, maka selain kepentingan memiliki pedagogi ilmu pengetahuan, mereka perlu mempunyai kemahiran profesion keguruan dalam pendidikan.\nYang kedua, guru perlu memiliki kemahiran profesion ini yang merangkumi kemahiran menggubal kokurikulum supaya relevan dengan situasi ketika itu dan mengikut kesesuaian peredaran semasa. Guru juga dituntut memiliki kemahiran menyampaikan ilmu dengan pelbagai cara dan pendekatan serta strategi bagi memungkinkan isi kandungan yang penting dalam kokurikulum itu dapat disampaikan kepada kumpulan sasaran.\nBegitu juga halnya dengan komponen pentaksiran yang sangat penting ditekankan dalam konteks membantu pembelajaran. Oleh itu, kemahiran keguruan ini perlu diketahui dan dipegang oleh guru serta perlu disemarakkan semula semasa sambutan Hari Guru seperti ini.\nSelain itu, dari aspek profesion keguruan, guru perlu mengetahui autonomi yang dibenarkan oleh guru untuk membuat keputusan. Guru perlu berani membuat keputusan berpandukan kepakaran, pengalaman dan ilmu pengetahuan.\nWalaupun menghadapi pelbagai cabaran dan perubahan persekitaran yang baharu, guru juga hendaklah kreatif dan melihat kemungkinan baharu, serta tidak terlalu merujuk pengalaman lampau, iaitu pengalaman yang dikongsikan oleh orang lain. Sebaliknya guru tersebut perlu mencari kelainan, kaedah dan pendekatan yang baharu sama ada semasa mengajar ataupun berkomunikasi.\nMisalnya, ketika pandemik COVID-19 ini, guru perlu melalui pendekatan komunikasi dengan cara baharu. Guru perlu melihat kemungkinan ini untuk meneroka dan mengangkat darjatnya sebagai orang yang berwibawa untuk menyampaikan ilmu pengetahuan dan berkongsi kemahiran yang ada kepada anak muridnya. Mereka tidak boleh berada dalam zon selesa. Oleh itu, guru perlulah ghairah untuk meningkatkan keupayaan dan kecekapan diri.\n\u201cApabila kita memilih untuk menjadi guru, maka berbanggalah kita menjadi pendidik dan anggaplah setiap usaha kita untuk memastikan yang terbaik dengan membaiki diri melalui perolehan ilmu dan kemahiran, serta pembentukan sikap yang positif secara berterusan.\u201c\nPada majlis yang sama turut diumumkan penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2022, yang berasal dari Perlis, iaitu Cikgu Roslan Yatim yang menjadi pencetus aspirasi, pemangkin inovasi dan penggerak pendidikan. Selama 37 tahun, beliau menabur bakti dan kecintaan terhadap anak bangsa dan tempoh itu bukanlah suatu jangka masa yang singkat. Daripada seorang guru biasa, beliau melangkah sehingga bergelar Guru Besar Cemerlang. Ternyata bukan calang-calang insan yang cemerlang buat ini kerana beliau telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak tiga kali, malah pihak istana turut menghargai jasa beliau dengan mengurniainya Pingat Jasa Kebaktian dan Pingat Mahkota Perlis.\nBeliau juga terserlah dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi hingga peringkat antarabangsa sehingga menerima Anugerah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Kementerian Pendidikan Malaysia (2013), serta menerima pelbagai anugerah termasuklah Anugerah Inovasi Sektor Awam, Jabatan Perdana Menteri (2013), Anugerah Inovasi Sektor Awam, Jabatan Perdana Menteri (2013), Anugerah Khas Kepimpinan Cemerlang, Universiti Malaysia Perlis (2014), Guru Ikon Sekolah Negeri (Perlis) dan Tokoh Guru Negeri Perlis (2021).\nKecintaan Cikgu Roslan terhadap dunia pendidikan diteruskan juga selepas beliau bersara. Jasa dan baktinya tetap terserlah melalui pelibatannya dalam pelbagai pertubuhan yang membuktikan khidmat dan kepemimpinan beliau sentiasa didambakan. Beliau seorang insan yang terpilih dan walaupun berada di mana-mana tetap terpancar kemilau auranya. Maka itu, tidak dapat disangkal lagi akan ketokohan guru hebat bernama Roslan Yatim yang menerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2022.\nBeliau turut menerima hadiah berupa wang tunai bernilai RM40 000 dan pingat emas bernilai RM10 000 yang disumbangkan oleh BSN, serta hadiah iringan berupa plak dan sijil penghargaan. Hadiah tersebut turut disampaikan oleh Menteri Kanan Pendidikan Malaysia." "Pemodenan Sektor Agromakanan Menjana Peluang Pekerjaan Tempatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Usaha pemodenan sektor agromakanan ialah satu daripada pemangkin untuk menarik minat bakat muda dalam menceburi bidang tersebut sekali gus menggalakkan penjanaan peluang pekerjaan di Sarawak.\nDemikian ulasan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), YB Chan Foong Hin ketika membuat kunjungan hormat kepada Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), YB Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak, semalam.\nDalam lawatan sulung YB Chan Foong Hin ke Sarawak sejak dilantik sebagai Timbalan Menteri MAFS pada 9 Disember 2022 yang lalu, beliau menyatakan bahawa pertemuan ini adalah penting bagi membincangkan kerjasama dua hala dalam mengeratkan kerjasama strategik kementerian pada peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Wilayah Sarawak bagi memastikan keterjaminan makanan negara.\nPada masa yang sama, beliau turut menekankan bahawa pembangunan industri asas tani bakal menambah nilai eksport diiringi usaha meneroka pasaran antarabangsa, terutamanya Asia Tenggara selain memperkasakan keterjaminan makanan di dalam negara.\nKedua-dua pihak bersedia untuk memberikan komitmen bagi memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang, terutamanya perkongsian data dan maklumat pertanian, pemasaran produk tempatan ke pasaran antarabangsa serta pemantapan program latihan pertanian dan program Agropreneur Muda.\nKerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak pada setiap peringkat diharapkan dapat lebih dipererat bagi membangunkan sektor pertanian.\nTurut hadir dalam pertemuan ini ialah para Pegawai Kanan Jabatan dan Agensi MAFS." "Loji Rawatan Kumbahan Berpusat Langat dan Taman Eko Langat Dilancarkan Hari Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKajang \u2013 \u00a0Loji Rawatan Kumbahan Berpusat Langat dan Taman Eko Langat yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) dengan kos perbelanjaan sebanyak 1595 bilion telah dirasmikan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad, hari ini.\n\u201cPembinaan Langat Centralised Sewage Treatment Plant (CSTP) dan Penyambungan Rangkaian Paip Pembetungan di kawasan tadahan lembangan Sungai Langat secara reka dan bina ialah satu daripada projek di bawah inisiatif dan komponen utama dalam perancangan pembangunan Greater KL, yakni di bawah River of Life Programme: Sewerage Non-River yang menggunakan teknologi rawatan deep aeration method with step-feed multi stage de-nitrification process dari Jepun,\u201d jelas YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh NRECC.\nMenurut beliau, projek ini mampu merawat aliran kumbahan sebanyak 207 000 meter padu\u00a0sehari atau 920 000 orang penduduk setara yang merangkumi kawasan tadahan seluas 77.6 kilometer persegi meliputi kawasan Cheras Batu 11, Cheras Jaya, Desa Baiduri serta Kajang Satu dan Kajang Tiga.\nBeliau juga menyatakan bahawa aliran kumbahan daripada loji yang ditutup sebanyak 152 buah di kawasan pembetungan Langat ini disambungkan ke sistem rangkaian paip pembetungan baharu yang dibina sepanjang 108 kilometer melalui 12 unit stesen pam.\nProjek ini juga bertujuan untuk meningkatkan liputan perkhidmatan pembetungan yang berkualiti serta membantu memulihara kualiti air di Sungai Langat melalui pelepasan efluen terawat yang mematuhi Akta Kualiti Sekeliling 1974, Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekitar (Kumbahan) 2009 sebelum dilepaskan ke Sungai Langat.\nTambah beliau, loji yang terletak di Kampung Sungai Balak, Kajang Selangor ini dilengkapi dengan pelbagai fasiliti sukan dan rekreasi yang dikenali sebagai Taman Eko Langat dan dibina di atas loji kumbahan tersebut. Antara kemudahannya adalah dilengkapi dengan kemudahan riadah, sukan dan pusat komuniti termasuklah 16 gelanggang badminton, dua gelanggang sepak takraw, dua gelanggang bola keranjang, dua gelanggang futsal, satu kawasan permainan kanak-kanak dan sebuah dewan komuniti.\nInfrastruktur yang diinspirasikan berdasarkan pengalaman dan kejayaan Jepun ini turut memaksimumkan inisiatif teknologi hijau seperti penuaian air hujan, penggunaan semula efluen, penggunaan biogas dan tenaga solar.\nMengulas dengan lebih lanjut, beliau menjangkakan bahawa kos operasi dan penyelenggaraan operator pembetungan dapat dikurangkan dengan penyiapan projek mega ini susulan loji rawatan kumbahan yang kecil dan kurang efisien dinyahtauliahkan dan dirobohkan sekali gus mampu mengurangkan potensi pencemaran sungai dan menjamin kelestarian sumber air.\nSejajar dengan satu daripada Teras Strategik Utama Malaysia Madani, iaitu menjamin kesejahteraan insan, pelaburan besar yang dilakukan oleh kerajaan ini adalah bagi memastikan perancangan penyediaan infrastruktur pembetungan yang moden dan efisien secara berperingkat di seluruh negara dalam mengutamakan keperluan rakyat, terutamanya dalam mengakses keperluan asas bagi menjalani kehidupan yang lebih produktif dan berlandaskan keadialan sosial." "Terapi Pemakanan Perubatan untuk Pesakit Kanser\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTerapi perubatan makanan ialah panduan bagi pegawai dietetik dalam memberikan khidmat nasihat pemakanan berdasarkan pembuktian hasil kajian saintifik mengikut peredaran semasa. Panduan ini merupakan pendekatan secara individu dalam memberikan kaunseling dan pendidikan pemakanan serta gaya hidup sihat, khasnya untuk individu yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, tekanan darah atau kolesterol tinggi, kegagalan fungsi buah pinggang dan kanser.\nPada tahun ini, kanser berada pada kedudukan keempat bagi punca kematian utama di hospital kerajaan di Malaysia. Pada tahun 2019, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan bahawa kanser menyumbang sebanyak 12.18 peratus kematian rakyat.\nKanser payudara, usus atau kolon, paru-paru, nasofarinks dan hati adalah antara lima jenis kanser yang tertinggi di Malaysia. Institut Penyelidikan Kanser Malaysia menjangkakan setiap satu daripada empat orang individu boleh menghidapi kanser akibat amalan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, pengambilan alkohol dan kurang melakukan aktiviti fizikal.\nSecara umumnya, pesakit kanser akan menjalani pemeriksaan lanjut sebelum mendapatkan rawatan. Kanser boleh dirawat melalui beberapa kaedah seperti pembedahan, radioterapi atau kemoterapi, terapi hormon dan terapi pemakanan perubatan (diet seimbang).\nPada kebiasaannya, pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan akan mengalami penurunan berat badan yang ketara kerana selera makan yang terganggu. Hal ini akan menyebabkan pesakit kekurangan zat makanan. Oleh hal yang demikian, pegawai dietetik berperanan memberikan saranan dan nasihat pemakanan dengan terperinci bagi membantu pesakit mendapat khasiat makanan yang secukupnya serta berada pada tahap kesihatan yang memuaskan.\nPanduan pemakanan dan langkah-langkah bagi membantu menambah baik status kesihatan pesakit kanser adalah seperti yang berikut:\nPesakit kanser memerlukan diet yang kaya dengan sumber protein untuk membina dan membaiki semula sel, tisu dan otot yang rosak, mempercepatkan penyembuhan luka, melawan jangkitan, serta menguatkan sistem ketahanan (imunisasi) badan.\nSumber protein terdiri daripada sumber haiwan (protein berkualiti tinggi) seperti ayam, ikan, daging, makanan laut dan sumber tumbuhan (protein berkualiti rendah) seperti tahu, tempe, keju, dan kekacang.\nPesakit kanser perlu mementingkan dan mengamalkan penjagaan rapi dalam kaedah penyediaan makanan kerana mereka mudah terkena jangkitan jika makanan tidak dicuci dengan bersih.\nMakanan mentah seperti susyi, telur mentah atau sayur-sayuran yang belum dimasak sepenuhnya terdedah kepada keracunan makanan dan jangkitan kuman atau bakteria. Oleh hal yang demikian, pesakit kanser perlu memastikan bahan mentah dicuci dengan bersih di bawah aliran air yang mengalir sebelum menyediakan makanan.\nSayur-sayuran dan buah-buahan kaya dengan antioksidan yang berfungsi melindungi sel daripada radikal bebas yang merosakkan sel tubuh. Radikal bebas ini dihasilkan dalam badan akibat pengambilan ubat semasa menjalani rawatan kanser.\nSayur-sayuran hijau (brokoli, kobis, bayam, daun salad), tomato, lobak merah, dan buah-buahan (oren, epal, pisang, beri) amat disarankan dalam diet pesakit kanser. Pengambilan dua sajian buah-buahan dan tiga sajian sayur-sayuran seperti cadangan KKM amat digalakkan bagi pesakit kanser.\nMakanan yang dibakar, disalai dan makanan terproses terdedah kepada bahan berkasinogen (bahan menggalakkan pertumbuhan sel kanser dalam badan). Misalnya makanan seperti sosej, kek, minuman berkarbonat, jus buah, biskut, makanan segera atau produk yang mengandungi daging terproses.\nKajian mendapati bahawa makanan terproses mampu meningkatkan risiko kanser disebabkan kadar nutrisi yang tidak seimbang. Komposisi makanan yang tinggi dengan tenaga (kalori), natrium (komposisi garam), lemak trans dan lemak tepu, gula serta rendah sumber serat menyumbang kepada masalah berat yang berlebihan (obesiti) dan kanser.\nSelain itu, makanan terproses mengandungi pelbagai bahan pengawet serta bahan kimia tersembunyi hasil daripada proses pembuatan makanan (akrilamid) yang disifatkan sebagai bahan berkarsinogen yang berisiko tinggi kepada perkembangan kanser. Oleh sebab itu, sumber makanan yang segar dan organik perlu menjadi pilihan utama bagi pesakit.\nPengambilan sebanyak lapan gelas air kosong sehari amatlah penting untuk pesakit kanser. Air yang banyak mampu untuk menyingkirkan toksin dan mengurangkan kesan sampingan rawatan seperti sembelit, muntah, kelesuan dan keletihan. Badan memerlukan air yang cukup untuk menjalankan fungsi dengan baik.\n\u00a0\nBagaimanakah pula jika seseorang pesakit itu sedang menjalani rawatan kanser? Apakah panduan pemakanan sekiranya selera makannya terjejas? Antara saranan pemakanan bagi menangani situasi ini termasuklah:\nPegawai dietetik akan memberikan saranan pengambilan susu pemakanan yang lengkap sekiranya pesakit tidak dapat makan dengan baik. Susu ini mengandungi nutrisi seimbang untuk membekalkan tenaga kepada badan dan mengurangkan penyusutan otot.\nSusu ini berfungsi sebagai pengganti makanan sementara selera makan kembali pulih. Susu ini bukan sahaja dilengkapi dengan vitamin dan mineral, malah telah diformulasikan bagi memudahkan proses penghadaman dan penyerapan nutrisi dalam tubuh. Namun begitu, perlu diingatkan bahawa pesakit kanser perlu mendapatkan nasihat lanjut daripada pegawai dietetik sebelum mengambil susu ini.\nKesan sampingan seperti keletihan, lesu, loya, sensitif terhadap bau, rasa sakit berpanjangan selepas sesi rawatan tamat boleh mengganggu pengambilan makanan pesakit kanser.\nBagi situasi ini, pesakit digalakkan untuk mengambil makanan dalam kuantiti kecil tetapi makan dengan lebih kerap, iaitu sebanyak tiga kali bagi makanan utama bersama-sama dua kali hingga tiga kali hidangan snek. Cadangan pemakanan ini amatlah penting untuk membekalkan tenaga yang secukupnya kepada pesakit kanser bagi menjalankan aktiviti harian.\nSesetengah pesakit kanser kerap mengalami rasa mual dan muntah. Pilihan makanan yang bergoreng atau terlalu berlemak akan memburukkan lagi gejala ini.\nAntara yang boleh dilakukan bagi mengurangkan rasa mual dan muntah termasuklah makan makanan berkanji yang kering seperti nasi, kentang, roti atau pasta. Pesakit juga perlu mengelakkan makanan pedas kerana boleh merangsang mual dan loya.\nSelain itu, pesakit disarankan untuk makan gula-gula berperisa pudina atau limau apabila mula rasa mual. Makanan yang lembut, mudah untuk dihadam juga dan bersuhu bilik atau dingin juga dicadangkan untuk pesakit kanser. \u00c2\u00a0Untuk minuman pula, pesakit perlu mengambil minuman yang menyegarkan atau mengandungi halia untuk membantu melegakan rasa mual dan muntah.\nSecara keseluruhannya, pesakit kanser hendaklah merujuk dan berbincang dengan pakar pemakanan atau pegawai dietetik bagi mendapatkan khidmat nasihat dan panduan pemakanan pesakit yang betul. Keperluan pemakanan yang khusus dan berkualiti akan meningkatkan status pemakanan, mengurangkan komplikasi penyakit dan menambah baik kualiti hidup pesakit kanser.\n\u00a0\nRencana ini disediakan oleh Siti Khadijah Rosle, Siswazah Sarjana Sains Kesihatan Pemakanan Klinikal, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan disemak oleh Profesor Madya Dr. Nik Shanita Safii, pensyarah di Fakulti Sains Kesihatan, UKM." "Masyarakat Disaran Ambil Berat Penjagaan Kebersihan dan Kesihatan Telinga\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bersempena Sambutan Hari Pendengaran Sedunia yang bakal disambut pada 3 Mac 2023, rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menampilkan dua Pegawai Pemulihan Perubatan (Audiologi) di Unit Audiologi Hospital Rehabilitasi Cheras, iaitu Puan Norfadillah Nordin dan Puan Siti Jamilah Mohd Noor bagi mengupas topik \u201cSambutan Hari Pendengaran Sedunia\u201c.\nTirai temubual ini dibuka oleh Puan Norfadillah Nordin yang menerangkan bahawa Hari Pendengaran Sedunia ialah inisiatif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang disambut pada 3 Mac pada setiap tahun. Inisiatif ini diwujudkan bertitik tolak daripada masalah pendengaran yang semakin meningkat.\nSaya mengambil satu kajian dari WHO yang mendapati bahawa dalam setiap 20 individu, terdapat satu individu yang disahkan mengalami masalah pendengaran. Kadar ini dijangkakan meningkat kepada enam individu yang akan disahkan mengalami masalah pendengaran pada tahun 2050. Jadi, saya berpandangan bahawa Hari Pendengaran Sedunia ini wajar diadakan.\nBeliau melanjutkan lagi perkongsiannya dengan mengupas perihal Program Saringan Pendengaran Bayi. Menurutnya, program tersebut telah dilaksanakan secara meluas di kebanyakan negara termasuklah Malaysia.\nProgram ini ialah satu daripada usaha untuk mengesan masalah pendengaran lebih awal, yakni pada peringkat bayi yang baru lahir. Statistik menunjukkan bahawa daripada 1000 kelahiran, antara satu hingga tiga bayi yang dilahirkan mempunyai masalah pendengaran.\nDi Malaysia, hasil daripada Program Saringan Pendengaran Bayi, sebanyak empat bayi daripada 1000 bayi yang dilahirkan dan menjalani saringan pendengaran di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) didapati mempunyai masalah pendengaran. Namun begitu, liputan saringan yang dilakukan tidak tinggi, yakni pada tahun 2021 daripada 280 820 kelahiran hidup, hanya 173 893 yang memperolehi manfaat daripada Program Saringan Pendengaran Bayi.\nUntuk sambutan Hari Pendengaran Sedunia pada tahun ini, kita hendak memperkukuhkan lagi pelaksanan program saringan ini, lebih-lebih lagi untuk untuk mencapai sasaran sebagaimana yang disarankan oleh mantan Menteri Kesihatan sebelum ini, yakni 90 peratus bayi yang dilahirkan di negara ini dapat menjalani ujian saringan pendengaran menjelang tahun 2025.\nSementara itu, Siti Jamilah Mohd Noor membuka lembaran perkongsiannya tentang kepentingan mempunyai pendengaran normal. Beliau berkata pendengaran normal ataupun pendengaran yang baik amat diperlukan untuk berkomunikasi atau berinteraksi dengan orang sekeliling seperti keluarga dan rakan sekerja.\nOleh sebab itu, beliau menjelaskan bahawa menjaga kebersihan dan kesihatan telinga adalah sangat penting agar tidak terdedah kepada penyakit yang berkait dengan telinga dan pendengaran. Sebaiknya-baiknya, seseorang itu juga perlu mengawal pendengaran daripada terdedah kepada kebisingan yang melampau yang boleh merosakkan pendengaran.\n\u201cSekiranya kita tidak menjaga kebersihan telinga dan kesihatan pendengaran, berkemungkinan besar kita boleh mendapat masalah pendengaran. Keadan ini boleh memberikan impak negatif termasuklah boleh menyebabkan kebimbangan dan kerisauan, malah yang lebih teruk lagi boleh menyebabkan seseorang itu mengasingkan diri daripada masyarakat. Kesannya, prestasi belajar, bekerja dan kualiti hidup seseorang boleh terjejas,\u201d tambah beliau lagi.\nPada akhir sesi temu bual, Puan Siti Jamilah Mohd Noor menyatakan bahawa penganjuran Sambutan Hari Pendengaran Sedunia tahun ini mempunyai kelainan dari tahun sebelumnya.\n\u201cPada tahun ini, Unit Audiologi Hospital Rehabilitasi Cheras akan bekerjasama dengan Unit Audiologi Hospital Putrajaya, Kelab Sukan dan Kebajikan Hospital Rehabilitasi Cheras serta Audio Lab Enterprise Sdn. Bhd. untuk menjayakan program Sambutan Hari Pendengaran Sedunia di Taman Tasik Permaisuri Cheras, Kuala Lumpur,\u201d jelasnya.\nTambah beliau lagi, program tersebut akan berlangsung selama tiga jam, bermula pukul 8.00 pagi hingga 11.00 pagi. Antara aktiviti yang dirancang untuk program tersebut termasuklah pameran penjagaan kesihatan telinga dan pendengaran, saringan pendengaran dan sesi perundingan dengan pegawai audiologi." "Belanjawan 2023 Terus Memperkukuh Agenda Keterjaminan Makanan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyambut baik Belanjawan Madani 2023 yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim, khususnya keprihatinan terhadap sektor pertanian negara.\nMenteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu berkata, \u201cBelanjawan tersebut diyakini dapat mendepani pelbagai cabaran dalam sektor agromakanan termasuklah pengeluaran, bekalan dan pemasaran makanan.\u201d\nKerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM5.39 bilion kepada KPKM pada tahun ini, iaitu kenaikan sebanyak 12.06 peratus berbanding dengan RM4.81 bilion pada tahun sebelumnya.\nKatanya lagi, peningkatan ini membuktikan bahawa keprihatinan kerajaan dalam memacu sektor agromakanan sebagai sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.\nMenurut beliau, selaras dengan agenda keterjaminan makanan, pemberian subsidi dan insentif bagi industri padi dan beras berjumlah RM1.6 bilion diperuntukkan dengan tambahan RM228 juta sumbangan tunai kepada pesawah serta perkongsian 30 peratus keuntungan bersih import beras kepada pesawah oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS). Pemberian ini dapat membantu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup pesawah.\nInisiatif melalui dana Skim Pembiayaan Agrofood, program Digital AgTech, Elaun Modal Dipercepatkan dan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas perbelanjaan modal telah ditekankan untuk memperluaskan dan memperkasakan penerimaangunaan teknologi moden bagi menyumbang kepada peningkatan kualiti pengeluaran dan produktiviti tenaga kerja dalam sektor pertanian.\nPada masa yang sama, beliau turut menyambut baik agenda keterjaminan makanan merentas kementerian dan kerajaan negeri serta syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC) seperti yang dinyatakan dalam pembentangan belanjawan. Hal ini dikatakan demikian kerana kolaborasi oleh semua pihak berkepentingan adalah diperlukan bagi menjamin ekosistem agromakanan yang mampan.\nTambahnya lagi, antara inisiatif yang diumumkan ialah penanaman jagung bijian, jualan rahmah, platform Cloud Kitchen dan program kebun komuniti bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat serta menggalakkan pelaburan swasta berskala besar berasaskan pertanian bagi meningkatkan pengeluaran makanan.\nKPKM sebagai peneraju dalam agenda keterjaminan makanan negara komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif Belanjawan 2023 secara cekap dan berhemat demi kesejahteraan rakyat.\nBeliau juga yakin bahawa inisiatif Belanjawan Madani ini menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi selari dengan objektif dan sasaran di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0)." "Sesi Bimbingan Penulisan Popular Inisiatif DBP-FSK UKM Perkasa Bahasa Melayu dalam Penerbitan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) direalisasikan menerusi Sesi Bimbingan Penulisan Popular yang diadakan di FSK, UKM, hari ini. Program yang dianjurkan oleh Pejabat Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, FSK, UKM ini julung-julung kalinya diadakan bagi menyahut hasrat DBP untuk memperkasakan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang termasuklah sains dan teknologi.\nProgram yang berlangsung hampir tiga jam ini bertujuan membantu para penyelidik dan staf FSK, UKM dalam menghasilkan penulisan popular yang berpotensi untuk diterbitkan sekali gus meningkatkan jumlah penerbitan penulisan tersebut.\nDalam ucapan alu-aluan Dekan FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar, beliau menyatakan bahawa peluang penerbitan bersama-sama DBP ialah peluang yang sangat bermakna. Beliau juga banyak mempelajari pelbagai perkara daripada DBP dan ilmu yang dipelajari itulah yang membentuk kaedah penulisan beliau hingga kini.\nFSK, UKM juga sedang merangka Pelan Strategik Fakulti Sains Kesihatan 2023-2028. Antara perkara yang ingin diperlihatkan ialah kebolehgunaan dan impak hasil kajian yang dilakukan oleh organisasi ini kepada masyarakat. Program penulisan popular bersama-sama DBP ialah satu daripada strategi untuk mencapai matlamat ini.\nMenurut beliau lagi, penulisan popular sememangnya untuk kegunaan masyarakat, namun hal ini turut memberikan manfaat kepada fakulti dengan menjadi lonjakan dan relevannya bidang sains kesihatan, terutamanya kepada pelajar dalam bidang sains kesihatan serta menjadi rujukan kepada pembuat dasar dan industri yang berkaitan.\nSementara itu, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Nor Fadilah Rajab menyatakan bahawa program yang dianjurkan pada hari ini dapat membantu pihak FSK, UKM mencapai penarafan dalam Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) melalui penerbitan.\nPada masa yang sama, program seumpama ini membolehkan para peserta mengetahui cara untuk menulis dengan betul dan menepati bidang penulisan yang ingin ditulis. Kami sememangnya sangat menggalakkan para pegawai profesional untuk terlibat dalam program seperti ini bagi menambahkan ilmu pengetahuan berkenaan dengan cara menghasilkan penulisan popular yang bermutu.\nSusulan itu, Sesi Bimbingan Penulisan Popular ini berkongsikan maklumat berkaitan dengan penulisan rencana untuk majalah Dewan Kosmik, penerbitan majalah secara digital melalui platform JendelaDBP dan menyebarluaskan maklumat tentang peluang penulisan dalam majalah terbitan DBP.\nProgram yang disertai oleh 50 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah, penyelidik, pegawai sains dan golongan profesional ini mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan dan telah berlangsung dengan jayanya." "Program Jelajah Perikanan Perkasa Industri Akuakultur\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nWisma Tani \u2013 Selaras dengan amanat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu bagi memperkasakan industri akuakultur yang termasuk dalam lima fokus utama KPKM selain memenuhi keperluan sumber protein rakyat Malaysia, program Jelajah Perikanan \u201cRasa-rasa Akuakultur\u201d telah diadakan semalam bagi mempromosikan dan menggalakkan masyarakat dalam pengambilan ikan akuakultur sebagai hidangan harian.\nBerdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), jabatan akan memfokuskan pengeluaran akuakultur sebanyak 30 peratus komoditi ikan serta rumpai laut menjelang tahun 2025.\nTilapia, patin dan siakap adalah antara spesies utama yang diberikan fokus dalam penternakan akuakultur. Jumlah pengeluaran bagi ketiga-tiga spesies ini adalah sebanyak 65 625.11 tan metrik sekali gus menyumbang sebanyak 16 peratus kepada jumlah pengeluaran akuakultur pada tahun 2021.\nSelain itu, ketiga-tiga spesies ini menyumbang sebanyak 30 peratus dengan nilai RM1.027 bilion bagi nilai harga borong. Komoditi lain seperti udang putih, udang galah dan rumpai laut pula akan terus diberikan perhatian bagi membolehkan komoditi ini menembusi pasaran luar negara.\nMenurut Timbalan Menteri KPKM, YB Chan Foong Hin, menerusi pemerkasaan industri akuakultur ini diharapkan rakyat Malaysia dapat menjadikan ikan akuakultur sebagai menu pilihan harian selain ikan laut. Beliau juga menyatakan bahawa ikan air tawar tetap menyumbang protein sumber ikan yang diperlukan oleh manusia.\nSebanyak lapan orang usahawan diundang khas bagi sesi jualan produk akuakultur dalam program ini. Para usahawan diberikan peluang untuk menawarkan produk masing-masing pada harga yang menarik. Pada masa yang sama, DOF juga mengundang usahawan bimbingan jabatan dengan pelbagai variasi produk akuakultur marin dan akuakultur air tawar bagi memberikan peluang kepada orang ramai mendapatkan produk akuakultur dengan harga yang berpatutan.\nProgram Jelajah Perikanan \u201cRasa-rasa Akuakultur\u201d yang\u00a0 dijalankan di seluruh\u00a0 negara\u00a0 ini dapat\u00a0 membantu\u00a0 dan\u00a0 menyokong\u00a0 pembangunan\u00a0 pelbagai produk hiliran akuakultur, meningkatkan pengeluaran dan permintaan kepada industri akuakultur, menambah pengeluaran ikan akuakultur serta menjana pendapatan penternak dan pengusaha produk berasaskan ikan." "PRPAD Anjur Program Rehabilitasi Aktif untuk Orang Berinsurans PERKESO\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKelana Jaya \u2013 Pusat Rehabilitasi PERKESO Ara Damansara (PRPAD) telah menjalankan program Rehabilitasi Aktif di pusat beli-belah Paradigm Mall hari ini.\nProgram ini bertujuan mendedahkan Orang Berinsurans (OB) PERKESO yang sedang menjalani rehabilitasi di PRPAD kepada kemudahan awam sebagai satu daripada bentuk pendedahan awal dan persediaan sebelum kembali ke alam pekerjaan setelah ditimpa kemalangan atau menghidap penyakit dengan keupayaan yang maksimum.\nOB berkenaan telah dibimbing oleh juruterapi bertauliah seperti jurupulih anggota, jurupulih cara kerja, jururawat, doktor dan pengurus hilang upaya berkaitan dengan tatacara dan kaedah menggunakan kemudahan awam seperti tandas awam, lif dan mesin ATM sebelum mereka kembali ke rumah atau tempat kerja.\nSelain itu, OB juga didedahkan dengan kaedah beradaptasi ketika melakukan aktiviti di tempat awam seperti membeli-belah, bersukan, makan di restoran, menggunakan tempat letak kereta dan membeli tiket.\n\u00a0\n\u00a0\nPengurus Cawangan PRPAD merangkap jurupulih cara kerja, Puan Aishah Md. Zin berkata, program ini penting sebagai satu daripada langkah bagi mengembalikan keyakinan OB untuk kembali berhadapan dengan masyarakat dan situasi di tempat kerja meskipun dengan keupayaan yang berbeza.\nProgram sebegini juga amat unik kerana berbentuk latihan dan bersifat realiti serta keluar daripada lingkungan fasiliti hospital atau pusat rawatan.\nSusulan itu, seorang daripada peserta program berpandangan bahawa program seumpama ini dapat memberikan manfaat dari segi fizikal, mental, keyakinan, semangat dan ilmu pengetahuan sebelum kembali bekerja. Para peserta juga berharap agar program ini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang.\nPRPAD ialah satu daripada satelit Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak yang mula beroperasi sejak tahun 2020 bagi memberikan manfaat rehabilitasi kepada pencarum PERKESO dan bukan pencarum di sekitar Lembah Klang.\nAntara rawatan rehabilitasi intensif yang ditawarkan oleh PRPAD termasuklah rehabilitasi perubatan, fisioterapi, terapi neuro-robotik, terapi cara kerja dan pengurusan hilang upaya. Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman sesawang PRPAD." "Turkiye Tawar Sumber Makanan dan Kepakaran bagi Membantu Industri Pertanian Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kunjungan hormat Duta Besar Turkiye di Malaysia, TYT Emir Salim Yuksel di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur baru-baru ini adalah untuk membincangkan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian, terutamanya dalam bidang pertanian moden dan penyelidikan pertanian.\nMenteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu menyatakan bahawa selaras dengan keperluan bagi menjamin sumber makanan yang mampan dan berterusan, Malaysia dan Turkiye bersedia untuk memperkukuhkan kerjasama perdagangan dalam bidang pertanian.\nDalam pertemuan ini, Turkiye menawarkan sumber daging, ayam dan produk ayam, madu serta buah-buahan untuk dieksport ke Malaysia. Bagi membantu industri pertanian Malaysia, Turkiye juga bersedia untuk berkongsikan kepakarannya dalam bidang teknologi pertanian moden dan mekanisasi.\nPada masa yang sama, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu turut menyatakan rasa simpati susulan bencana gempa bumi yang melanda Turkiye, manakala Turkiye turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Malaysia atas bantuan misi mencari dan menyelamatkan mangsa gempa bumi di negara tersebut.\nUntuk makluman, Turkiye ialah rakan dagang pertanian yang berpotensi tinggi untuk Malaysia. Berdasarkan rekod, perdagangan dalam sektor pertanian antara Malaysia dengan Turkiye adalah berjumlah RM6.14 bilion bagi tempoh Januari 2022 hingga November 2022.\nTurut hadir dalam sesi pertemuan ini ialah Ketua Setiausaha KPKM dan pegawai kanan KPKM." "Amalan Ibu Bapa Mempengaruhi Perubahan Emosi Remaja\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Ibu bapa merupakan entiti yang sangat penting dalam menjamin kelangsungan perkembangan emosi anak, lebih-lebih lagi sewaktu anak berada dalam fasa peralihan dari zaman kanak-kanak ke zaman remaja. Tanpa bimbingan dan pemerhatian yang berkualiti dan berkesan daripada ibu bapa, keadaan tersebut berupaya merencatkan kelangsungan perkembangan emosi anak.\nMenyentuh perihal perkembangan emosi seorang anak, Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menampilkan Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan di Jabatan Perubatan Psikologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari bagi membicarakan topik \u201cPerubahan Emosi Remaja, Apakah Puncanya?\u201d.\nBeliau membuka lembaran bicaranya dengan menjelaskan perihal proses perubahan emosi remaja. Menurutnya, zaman remaja ialah zaman transisi seseorang dari zaman kanak-kanak ke zaman awal dewasa. Pada kebiasaannya, perubahan tersebut merujuk umur pada peringkat sekolah menengah, yakni pada ketika itu, remaja mempunyai rasa ingin tahu dan mencuba sesuatu. Pada masa yang sama, remaja itu mula mempunyai perasaan menyukai seseorang yang berlawanan jantina.\nSebenarnya kalau diikutkan ini ialah perubahan emosi atau sikap yang normal dari segi perkembangannya. Perkembangan emosi ini juga membolehkan mereka mengawal kemarahan dan apabila mereka bertindak terhadap sesuatu perkaran, mereka boleh berfikir akan kesan daripada perbuatannya itu.\n\u201cOleh hal yang demikian, bagaimanakah terhasilnya perlakuan sewaktu mereka hendak menyesuaikan zaman remaja ini? Inilah yang dimaksudkan sebagai dampingan yang selamat semasa mereka berada pada peringkat awal remaja ataupun kanak-kanak. Ibu bapa menjadi entiti yang penting dalam hal ini. Hubungan yang selamat dengan ibu bapa pada peringkat awal membuatkan mereka berasa dihargai, dihormati, pendapat mereka diambil peduli, yakni terdapatnya maklum balas daripada ibu bapa, keprihatinan emosi dan empati,\u201d jelasnya lagi.\nBeliau juga menegaskan supaya ibu bapa mengambil berat akan keadaan anak sekiranya mereka menghadapi sebarang tekanan. Hal ini adalah penting untuk membina remaja yang bersikap normal apabila mereka menghadapi cabaran pada masa remaja itu sendiri.\nBeliau melanjutkan lagi ruang bicaranya dengan mengupas perihal pengaplikasian ilmu keibubapaan. Beliau berkata, ilmu keibubapaan yang baik penting dalam membentuk kesimbangan antara memberikan sedikit kebebasan dengan memberikan arahan bagi mengawal anak. Namun begitu, jika dilihat dari aspek psikologi, pemberian kebebasan juga mustahak bagi perkembangan emosi anak.\nSaya berpendapat kebebasan ini bukannya diberikan secara mutlak, tetapi lebih kepada pengawalseliaan. Sebagai contohnya, ibu bapa perlu mengambil tahu rakan mereka dan aktiviti mereka di media sosial. Kadangkala, kita perlu memberikan autonomi, yakni kebolehan kepada anak untuk membuat keputusan. Jika terlalu mengongkong, personaliti yang terbentuk akan menjadi seseorang itu bergantung kepada orang lain dan tidak boleh membuat keputusan sendiri. Kita tidak mahu itu terjadi, akibatnya lebih buruk akibatnya.\nPada akhir sesi temu bual, beliau menyatakan harapan agar ibu bapa dapat meluangkan masa yang bernilai bersama-sama anak dan menjadi contoh yang terbaik kepada mereka. Ibu bapa juga tidak boleh menepis sebarang permasalahan anak, sebaliknya mereka memerlukan perhatian dan penghargaan daripada ibu bapa mereka sendiri." "Latihan dan Pengulangan Bantu Penutur Kedua Kuasai Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nProses pembelajaran bahasa berlaku dalam minda sedar manusia apabila pelajar perlu menguasai tatabahasa bahasa kedua sehingga bahasa itu dikuasai sepenuhnya. Menurut Kamarudin Haji Husin dalam buku Pedagogi Bahasa Perkaedahan, maksud bahasa kedua ialah \u201cbahasa yang kedua dipelajari oleh seseorang itu di samping bahasa kandung yang diperoleh\u201d.\nBahasa kedua diperoleh dan dikuasai menerusi proses pembelajaran. Hal ini dipersetujui oleh Zuraini Ramli dalam artikelnya yang bertajuk \u201cPsikolinguistik dalam Pengajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kedua\u201d, yang menyatakan bahawa penguasaan bahasa kedua selalunya diperoleh menerusi pembelajaran, bukannya pemerolehan.\nProses ini dilakukan dalam keadaan yang lebih formal, serta memerlukan banyak latihan dan pengulangan sehingga menjadi satu tabiat. Pembelajaran yang bersifat formal ini menekankan proses latihan dan pengulangan kerana proses tersebut dapat membentuk suatu kebiasaan.\nProses ini merupakan satu daripada prinsip pembelajaran bahasa kedua yang sangat penting yang menjadi perbincangan hangat dalam kalangan ahli sarjana bahasa dan pendidikan dari dahulu hingga kini. Oleh sebab pelajar bukan natif tidak mempunyai intuisi bahasa, pelajar tersebut lebih cenderung untuk memilih bentuk yang kurang tepat ketika berbahasa kerana banyak dipandu oleh pengetahuan struktur dan tatabahasa sahaja.\nPada era tahun 1980-an, Abdullah Hassan pernah menyatakan bahawa seseorang guru yang mengajar bahasa kedua haruslah memastikan pelajar melalui proses latihan yang begitu rapi, terutamanya bagi pelajar yang sering gagal menguasai pembelajaran bahasa kedua disebabkan oleh lakuan bahasa ibunda. Edwin Ray Guthrie dalam bukunya, iaitu Psychology of Learning menyatakan bahawa pembelajaran berlaku dengan adanya rangsangan dan diikuti oleh gerak balas.\nJika suatu gerak balas pernah berlaku dalam suatu keadaan tertentu, gerak balas yang sama akan berlaku sekali lagi apabila berada dalam keadaan tersebut pada masa yang lain. Apabila ada rangsangan dan tindak balas, maka berlakulah pembelajaran. Pada masa yang sama, menerusi kaedah pembelajaran di dalam kelas atau kursus tertentu, aspek tatabahasa dan pembelajaran secara kontekstual berjaya dikuasai oleh pelajar.\nOleh sebab itu, proses latihan dan pengulangan merupakan suatu proses yang sangat ideal untuk mempelajari lakuan baharu, terutamanya dalam pembelajaran bahasa kedua. Proses ini menghasilkan perubahan tingkah laku dan menyebabkan tingkah laku baharu tersebut tekal dalam diri pelajar yang mempelajari bahasa kedua dan memberikan kesan yang positif kepada pelajar kerana aktiviti latihan dan pengulangan dapat memberikan kefahaman yang mendalam.\nPelajar juga berjaya menguasai nahu dengan cara hafalan dan membuat latihan. Pada masa ini, pelajar berpeluang menguasai bahasa kedua melalui usaha menyusun kata dan menghasilkan ayat yang mematuhi rumus tatabahasa. Apabila rumus tatabahasa ini dihafal dan diaplikasikan secara kerap, penguasaan bahasa kedua pelajar semakin meningkat. Setiap kesalahan penggunaan rumus tatabahasa yang dilakukan turut perlu dijelaskan kepada pelajar. Pelajar juga diberi peluang untuk menghasilkan dan membetulkan ayat mengikut rumus tatabahasa.\nKaedah yang dijalankan dalam suasana kelas secara bersemuka atau secara dalam talian ini memerlukan usaha daripada guru kerana guru lebih berperanan sebagai model bahasa kedua yang betul. Guru akan membantu pelajar memberikan tumpuan terhadap aspek yang masih kurang tepat atau aspek yang memberikan masalah kepada pelajar. Dalam hal ini, guru akan meminta pelajar mengulang-ulang tingkah laku tersebut.\nDalam artikel \u201cPsikolinguistik dalam Pengajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kedua\u201d, Zuraini Ramli menyatakan bahawa pelbagai cara latih tubi boleh dilaksanakan seperti pengulangan (pelajar mengulangi ayat apabila mendengar rangsangan), infleksi (pelajar menggantikan sesuatu perkataan dalam ayat yang dijadikan rangsangan dengan bentuk infleksi yang lain apabila diulang), penggantian (pelajar menggantikan sesuatu perkataan dalam ayat yang dijadikan rangsangan dalam perkataan yang lain), dan penyataan semula (pelajar mengolah semula ayat yang diperdengarkan sebagai rangsangan). Hal ini memberikan kepuasan kepada guru dan pelajar walaupun memerlukan masa yang agak panjang.\nBerdasarkan pengalaman guru ketika melaksanakan proses latihan dan pengulangan terhadap pelajar bukan natif bahasa Melayu, guru tersebut mendapati bahawa proses latihan dan pengulangan dapat menghasilkan tindak balas yang positif dan memberikan kesan yang bermakna terhadap pembelajaran bahasa kedua. Dalam hal ini, pelajar lebih memahami pelajaran bahasa disebabkan oleh pengalaman yang diperoleh ketika proses latihan dan pengulangan yang mengupayakan pelajar untuk mengetahui klu bagi sesuatu kesalahan, seterusnya membetulkannya.\nSelain itu, pelajar juga mampu meramalkan jawapan kerana proses latihan dan pengulangan mewujudkan pengetahuan yang baharu kepada pelajar. Keupayaan pelajar bukan natif yang mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua menerusi proses latihan dan pengulangan ini meningkatkan motivasi diri, seterusnya menyebabkan pelajar seronok untuk terus mempelajari bahasa Melayu.\nNamun begitu, guru perlu menyediakan perancangan yang teliti sebelum melaksanakan proses latihan dan pengulangan. Dalam hal ini, guru perlu memastikan bahawa bahan latihan yang disediakan bersesuaian dengan tahap kognitif pelajar. Guru juga perlu kreatif dan inovatif supaya bahan latihan yang disediakan tidak menjemukan pelajar.\nPada masa yang sama, guru perlu bijak memanipulasikan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi agar latihan dan pengulangan yang dirancang dapat dilaksanakan dalam bentuk yang interaktif, menghiburkan, santai dan dapat dicapai serta dilakukan menerusi interaksi waktu nyata." "Penyusuan Susu Ibu Kurangkan Risiko Obesiti Anak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bayi yang lahir dan mengalami proses tumbesaran berat badan yang terlalu drastik dan tinggi mempunyai kecenderungan untuk menghidap masalah kesihatan. Hal ini dijelaskan secara terperinci oleh Pakar Perunding Pediatrik dan Pediatrik Endokrinologi, Hospital Pakar Damansara 2, Dr. Rashdan Zaki Mohamed menerusi program \u201cApa Khabar Malaysia\u201c anjuran Bernama TV, baru-baru ini.\nBeliau membuka tirai perkongsiannya dengan menjelaskan proses tumbesaran normal seorang bayi. Menurutnya, untuk memahami proses tumbesaran seorang bayi dan kanak-kanak, berat badan, tinggi dan ukur lilit kepala bayi atau kanak-kanak tersebut perlu diperhatikan.\nJelasnya lagi, terdapat skala dan graf tertentu yang perlu diikuti. Lazimnya, apabila tumbesaran berat bayi bertambah kepada 15 gram hingga 30 gram sehari dan seterusnya, berat badan itu akan berganda dua kali dalam masa enam bulan dan meningkat kepada tiga kali ganda dalam masa setahun.\nNamun demikian, jika berat badan bayi itu bertambah dalam tempoh masa yang singkat, ibu bapa perlu memberikan perhatian terhadap situasi berkenaan kerana dikhuatiri bayi tersebut mengalami masalah kesihatan yang lain.\nBeliau menerangkan bahawa terdapat dua faktor yang menyebabkan obesiti, iaitu faktor nutrisi yang merujuk terlebih makan dan kurang bersenam serta faktor obesiti patologi (pathological obesity) ataupun mempunyai masalah kesihatan tertentu seperti masalah genetik atau\u00a0 hormon yang menyebabkan berlakunya obesiti.\nUntuk menentukan berat badan berlebihan adalah melalui carta berat dan carta indeks jisim tubuh (BMI). Jika berat kanak-kanak melebihi graf tertentu, misalnya antara 85 persentil hingga 95 persentil, situasi ini dipanggil obesiti, manakala dewasa pula dianggap obesiti jika graf melebihi 27.5 persentil.\nBeliau turut menegaskan bahawa masyarakat harus mempunyai kesedaran mengenai isu obesiti, sama ada dalam kalangan bayi, kanak-kanak, remaja ataupun dewasa. Hal ini dikatakan demikian kerana kanak-kanak dan remaja yang obesiti akan membesar menjadi individu yang obesiti pada peringkat dewasa.\n\u00a0Antara 70 peratus hingga 80 peratus kanak-kanak dan remaja yang obesiti menghidap kencing manis, darah tinggi dan mempunyai masalah kolesterol di dalam badan. Oleh sebab itu, kita harus memberikan perhatian kepada perubahan fizikal yang berlaku pada kanak-kanak. Sebenarnya, tanggungjawab ini bukan terletak pada ibu bapa sahaja, masyarakat juga bertanggungjawab secara keseluruhannya.\nDalam sesi perkongsian ini juga, beliau mengupas perihal proses penyusuan susu bayi. Beliau berkata, \u201dPenyusuan susu ibu kepada bayi ialah kaedah penyusuan yang baik untuk kesihatan bayi. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam tempoh enam bulan pertama, penyusuan susu ibu kepada bayi secara konsisten dan eksklusif akan membentuk kesan perlindungan, yakni dapat mengelakkan bayi daripada menjadi obesiti. Namun begitu, jika bayi diberikan susu formula dan dalam kuantiti terlalu banyak, hal tersebut boleh menyebabkan obesiti akibat pengambilan kalori yang berlebihan.\nPada sesi akhir perkongsian, beliau menyarankan agar ibu bapa sentiasa mengawal pemakanan anak dan mengamalkan gaya hidup yang sihat bagi memastikan kesihatan anak sentiasa terjamin." "MELP Tingkatkan Kepekaan Rakyat terhadap Peralihan Tenaga\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) berganding bahu dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan agensi yang berkaitan untuk meningkatkan kepekaan masyarakat terhadap tenaga agar dapat menyumbang kepada kelestarian industri tenaga negara.\nMenteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, \u201cInisiatif Malaysia Energy Literacy Program (MELP) yang dilancarkan adalah bertujuan memupuk rakyat Malaysia mengenai pentingnya tenaga dan peranan mereka dalam pengurusan tenaga.\nApabila kita dapat meningkatkan pengetahuan, kita mampu untuk bertindak balas menggunakan tenaga dengan lebih cekap, menyumbang kepada kemampanan tenaga, menjaga alam sekitar dengan lebih baik dan bergerak ke arah masa hadapan yang lebih mampan, terutamanya untuk generasi akan datang.\nTambahnya, melalui pelaksanaan MELP, usaha bersepadu boleh diatur untuk mewujudkan pelbagai program yang lebih berkesan dalam membentuk masyarakat peka tenaga sekali gus memupuk manusia bertamadun yang mempunyai nilai madani.\nDengan adanya usaha seumpama ini, rakyat dapat menghayati kepentingan peranan yang boleh mereka lakukan untuk menyumbang kepada peralihan tenaga bagi menuju negara neutral karbon. Selain itu, rakyat juga perlu didedahkan dengan pelbagai inisiatif dalam peralihan tenaga dan kepentingannya bagi menangani kesan perubahan iklim.\nMenurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, YBhg. Dato\u2019 Indera Ir. Baharin Din, TNB akan menganjurkan Persidangan Peralihan Tenaga yang memberikan tumpuan kepada tenaga, perbandaran dan pengangkutan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Ogos 2023.\nPersidangan ini menghimpunkan para pemimpin pemikiran antarabangsa, pakar, peneraju industri, penggubal dasar dan komuniti berkaitan yang berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mulai 24 Ogos 2023 bagi membincangkan cabaran peralihan tenaga.\nJelas beliau lagi, Persidangan Peralihan Tenaga dan MELP mempunyai kaitan rapat sebagai suatu platform yang menyediakan perkongsian maklumat penyelesaian teknologi mampan dalam usaha mempercepatkan pacuan peralihan tenaganya yang bertanggungjawab.\nMenurutnya, tumpuan kepada peralihan tenaga akan memesatkan lagi transformasi digital pelanggan untuk menerapkan gaya hidup yang mampan serta pintar selaras dengan kehendak dan keperluan masyarakat.\nTNB sendiri mempercepatkan pacuan peralihan tenaga secara bertanggungjawab dengan meningkatkan nilai perusahaan bisnes penjanaan TNB, meluaskan pasaran tenaga boleh baharu (TBB), memperkasakan grid dan membangunkan ekosistem kenderaan elektrik (EV).\nPada masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa inisiatif hala tuju kehidupan lestari pada masa hadapan itu adalah sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menjadi agenda sejagat dengan melindungi bumi serta mewujudkan keseimbangan ekonomi, sosial dan alam sekeliling.\nUntuk makluman, konsep MELP mula dibangunkan oleh TNB sejak tahun 2020 melalui pelbagai kempen bijak tenaga dalam kalangan rakyat, termasuklah generasi muda pada peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi serta masyarakat pengguna melalui kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).\nBersempena dengan pelancaran MELP ini, TNB turut mempamerkan Gallery Walk yang bertemakan Together with the Nation through Energy Transition\u00a0yang mencakupi keseluruhan rantaian ekosistem tenaga dengan paparan peralihan tenaga dan hala tuju kelestarian, kecekapan tenaga serta TBB di samping ekosistem EV." "UiTM dan UNJANI Bekerjasama ke Arah Pengantarabangsaan Pendidikan dan Penyelidikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universitas Jenderal Achmad Yani (UNJANI) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan dengan kerjasama dalam bidang pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam, semalam.\nMenurut Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, pemeteraian MoU ini akan menggalakkan dan merangsang kerjasama dalam bidang perubatan serta disiplin lain yang mempunyai kepentingan bersama. Perkongsian ini juga akan menggalakkan mobiliti kakitangan dan pelajar UiTM melalui pelbagai program bersama-sama UNJANI dan sebaliknya.\nJelas beliau lagi, pemeteraian MoU ini disifatkan kritikal dan tepat pada masanya kerana kedua-dua UiTM dan UNJANI berminat untuk bekerjasama dan komited ke arah mencapai matlamat dalam mengejar pengantarabangsaan pendidikan melalui usaha mempromosi dan menerajui pembangunan intelek serta modal insan.\nMelalui pemeteraian MoU antara kedua-dua universiti, UiTM selangkah lebih dekat untuk memetakan universiti di mata dunia dan mengubah UiTM menjadi sebuah universiti yang terkenal pada peringkat global menjelang tahun 2025.\nSusulan itu, perkongsian strategik ini juga dipercayai dapat memanfaatkan daya saing global universiti dalam membangunkan program akademik dan latihan yang inovatif.\nTurut hadir dalam majlis ini ialah Rektor UNJANI, YBrs. Profesor Hikmahanto Juwana dan Dekan Fakulti Perubatan UiTM, YBrs. Profesor Dr. Fazah Akhtar Hanapiah." "Amerika Syarikat Tawar Latihan Pertanian dan Perkukuh Kerjasama Perdagangan dengan Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pertemuan kali pertama antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu dengan Duta Besar Amerika Syarikat di Malaysia, TYT Brian D. McFeeters di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur, baru-baru ini bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang pertanian sekali gus membincangkan isu sekuriti makanan dan kerjasama teknikal yang boleh dilaksanakan.\nMenurut YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, beliau menyatakan bahawa isu yang menjejaskan sekuriti makanan di Malaysia adalah antara isu global yang turut menjejaskan negara lain. Susulan itu, bagi meningkatkan penghasilan makanan melalui penggunaan teknologi pintar dan kecerdasan buatan, kerjasama antara kedua-dua negara ini adalah penting.\nUjar beliau, Amerika Syarikat menyatakan komitmennya dengan menawarkan pelbagai program latihan jangka pendek dan jangka panjang dalam bidang pertanian. Pada masa yang sama, negara yang merupakan rakan dagang pertanian berpotensi tinggi ini bersedia untuk memperkukuh kerjasama perdagangan dalam sektor pertanian selaras dengan keperluan bagi menjamin sumber makanan yang mampan dan berterusan.\nUntuk rekod, sepanjang tempoh Januari 2022 hingga November 2022, \u00a0terdapat peningkatan nilai dagangan pertanian antara Malaysia dengan Amerika Syarikat, iaitu sebanyak RM13.24 bilion berbanding dengan RM12.55 bilion pada tahun 2021.\nTurut hadir dalam sesi pertemuan ini ialah pegawai kanan KPKM dan para pegawai dari Kedutaan Besar Amerika Syarikat." "Melindungi Kesihatan Pendengaran Remaja\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRencana ini disediakan bersempena dengan Hari Pendengaran Sedunia yang disambut pada 3 Mac 2023.\nKesihatan pendengaran merujuk keupayaan seseorang itu untuk mendengar dan memproses bunyi. Kesihatan pendengaran yang baik adalah penting untuk seseorang itu mempunyai komunikasi dan interaksi sosial yang berkesan di samping mempunyai kualiti hidup yang baik. Kehilangan pendengaran, tinitus (bunyi berdengung) dan masalah berkaitan pendengaran yang lain boleh memberikan kesan kepada keupayaan seseorang untuk berfungsi dan menikmati kehidupan.\nTerdapat beberapa faktor yang boleh menjejaskan kesihatan pendengaran seperti kecenderungan genetik, pendedahan kepada bunyi yang kuat, penuaan, ubat-ubatan tertentu dan masalah perubatan seperti diabetes dan penyakit kardiovaskular. Untuk mengekalkan kesihatan pendengaran yang baik, seseorang itu perlu melindungi telinga daripada bunyi yang kuat, menjalani pemeriksaan pendengaran secara berkala dengan pegawai pemulihan pendengaran (pegawai audiologi) dan mendapatkan rawatan perubatan segera jika mengalami sebarang gejala berkaitan pendengaran.\nKesihatan pendengaran adalah penting untuk semua peringkat umur, termasuklah remaja. Pendengaran yang baik adalah penting untuk remaja kerana hal tersebut membolehkan mereka berkomunikasi dengan berkesan yang mnjadi keperluan untuk mereka bersosial dengan rakan sebaya dan membina hubungan. Pendengaran yang baik juga perlu untuk mereka berjaya dalam akademik, pembangunan kemahiran hidup yang berguna dan pengekalan kesihatan mental yang baik kerana masalah pendengaran boleh menyebabkan mereka mudah berasa terasing.\nRemaja berada dalam fasa penerokaan, yakni mereka sedang mencari identiti sendiri dan pengalaman baharu. Sesetengah remaja mungkin terlibat dalam tingkah laku berisiko akibat tekanan daripada rakan sebaya ataupun keinginan mereka untuk meneroka pengalaman baharu walaupun tindakan tersebut mungkin berbahaya atau menyalahi undang-undang. Satu daripada cara mereka boleh melakukan ini adalah dengan mendengar muzik yang kuat atau melibatkan diri dalam aktiviti yang melibatkan bunyi yang kuat seperti parti atau konsert.\nTerdapat beberapa faktor remaja tertarik kepada bunyi yang kuat. Pertama, bunyi yang kuat boleh menarik dan merangsang minat remaja yang mencari pengalaman baharu dan menarik. Selain itu, bunyi yang kuat seperti muzik khususnya, boleh menjadi cara yang berkesan bagi remaja meluahkan perasaan mereka sebagai cara untuk berhubung dengan rakan dan menyampaikan emosi. Muzik yang kuat juga boleh membantu menghalang gangguan bunyi daripada persekitaran dan mewujudkan rasa privasi. Hal ini boleh membantu remaja berasa tenang dan memainkan peranan yang penting bagi kesihatan mental mereka.\nPeranti pendengaran peribadi seperti fon kepala dan fon telinga boleh memberikan kesan negatif kepada pendengaran. Peratusan penggunaan peranti ini dalam kalangan remaja semakin tinggi semasa dan selepas pandemik COVID-19. Lebih-lebih lagi dengan meningkatnya penggunaan peranti seperti iPod, iPad atau komputer riba bagi tujuan akademik dan juga sosial. Pendedahan berpanjangan kepada muzik atau bunyi yang kuat melalui peranti ini boleh menyebabkan kerosakan pendengaran, termasuklah kehilangan pendengaran dan tinitus.\nTelinga manusia berupaya mengawal dan melindungi organnya daripada bunyi yang kuat sehingga tahap tertentu sahaja. Pendedahan kepada bunyi yang tinggi untuk jangka masa panjang boleh merosakkan sel rambut halus di telinga dalam. Hal ini merisikokan seseorang itu untuk mendapat kehilangan pendengaran kekal.\nKajian menunjukkan bahawa remaja yang kerap menggunakan peranti pendengaran peribadi pada kekuatan bunyi yang tinggi berisiko untuk mengalami kehilangan pendengaran, tinitus dan masalah berkaitan pendengaran yang lain akibat bunyi bising.\nTambahan pula, remaja yang kerap menggunakan alat pendengaran peribadi juga mungkin mengalami keletihan pendengaran (hearing fatigue) yang merujuk telinga menjadi letih dan kurang sensitif terhadap bunyi. Keadaan tersebut juga menjadikan seseorang itu sukar untuk mendengar bunyi yang lebih lembut. Hal ini boleh menyebabkan keperluan untuk meningkatkan kekuatan bunyi yang lebih tinggi lalu mewujudkan satu kitaran yang meningkatkan risiko kerosakan pada organ pendengaran.\nUntuk melindungi pendengaran, remaja harus digalakkan untuk mengikuti amalan mendengar yang selamat seperti mengekalkan kekuatan bunyi pada tahap sederhana, berhenti rehat daripada menggunakan peranti secara berkala dan menggunakan fon kepala yang mempunyai pembatalan hingar (noise-cancelling). Tindakan ini akan mengurangkan keperluan untuk mendengar pada kekuatan bunyi yang tinggi.\nIbu bapa dan penjaga juga berperanan penting untuk mendidik remaja tentang risiko pendedahan berpanjangan kepada bunyi yang kuat dan memantau tabiat mendengar mereka. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan untuk mengekalkan kekuatan bunyi di bawah 60 peratus daripada paras maksimum dan mengambil rehat yang kerap untuk membolehkan telinga berehat.\nSecara keseluruhannya, remaja harus mengetahui risiko kepada kesihatan pendengaran mereka dan mengambil langkah yang sewajarnya untuk melindungi telinga mereka apabila perlu seperti memakai penyumbat telinga atau menjaga jarak yang selamat daripada pembesar suara. Tindakan berjaga-jada ini boleh membantu mereka mengekalkan pendengaran yang baik sehingga dewasa. Mereka juga perlu cakna bahawa jika mereka mengalami sebarang gejala berkaitan pendengaran, mereka perlu memaklumkan kepada ibu bapa untuk mendapatkan penilaian pendengaran awal dan intervensi awal jika diperlukan.\nDr. Nik Adilah Nik Othman, Pensyarah Perubatan dan Perunding Pakar Otorinolaringologi \u2013 Pakar Bedah Kepala dan Leher, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia." "JENDELA Terima Pengiktirafan Antarabangsa Bukti Kejayaan MCMC Memanfaatkan Teknologi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013 Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) telah terpilih sebagai antara lima Project Champion dengan undian tertinggi di bawah Kategori C2, iaitu Information and Communication Infrastructure: An Essential Foundation for An Inclusive Information Society oleh World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2023 yang dianjurkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).\nWSIS Prizes ialah pertandingan antarabangsa yang unik dan dibangunkan bagi menilai serta mengiktiraf projek cemerlang dalam melaksanakan strategi berorientasikan pembangunan yang memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi sebagai pemangkin kepada pembangunan. WSIS Prizes juga ialah platform untuk mengenal pasti dan mempamerkan kejayaan dan model yang boleh dicontohi bagi menghargai usaha pihak berkepentingan atas komitmen dan nilai tambah yang diberikan kepada masyarakat ke arah mencapai matlamat WSIS.\nBerdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pemilihan JENDELA sebagai Project Champion ini adalah berikutan penantian bagi keputusan akhir pemenang yang akan diumumkan dalam Majlis Anugerah WSIS 2023 bersempena dengan WSIS Forum 2023 di ITU Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), Geneva, Switzerland pada 14 Mac ini.\nMCMC ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak yang yang mengundi dan memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif ini. Kejayaan ini merupakan satu pengiktirafan besar kepada MCMC yang telah berusaha merealisasikan inisiatif JENDELA yang beraspirasi bagi menyediakan liputan kesalinghubungan dan penyediaan perkhidmatan Internet yang berkualiti untuk rakyat Malaysia.\nUntuk makluman, JENDELA merangkumi dua fasa yang dibangunkan untuk meningkatkan liputan kesalinghubungan dan penyediaan perkhidmatan Internet yang berkualiti secara berterusan untuk manfaat rakyat, sektor perniagaan dan pihak berkepentingan.\nJENDELA Fasa 1 (2020-2022) menyasarkan untuk memperluaskan akses gigabit bagi jalur lebar talian tetap kepada 7.5 juta premis, meningkatkan liputan jalur lebar mudah alih 4G kepada 96.9 peratus di kawasan berpenduduk dan meningkatkan purata kelajuan jalur lebar mudah alih kepada 35Mbps.\nSementara itu, JENDELA Fasa 2 (2023-2025) memberikan tumpuan dalam penyediaan liputan Internet bagi baki tiga peratus kawasan berpenduduk, memperluaskan akses gigabit bagi jalur lebar talian tetap kepada sembilan juta premis.\n\u00a0JENDELA beraspirasi untuk memperluaskan akses gigabit bagi jalur lebar talian tetap kepada sembilan juta premis, 100 peratus kawasan berpenduduk mendapat liputan Internet dan mencapai purata kelajuan jalur lebar mudah alih pada 100 Mbps menjelang tahun 2025.\nOleh yang demikian, pengiktifaran yang diterima ini adalah bukti komitmen yang diberikan oleh kerajaan dan MCMC dalam memperkasakan kesalinghubungan dan memperkukuh ekosistem digital agar rakyat dan negara sentiasa bersedia untuk mendepani cabaran ekonomi semasa secara keseluruhannya." "Kanser Usus Boleh Dicegah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKanser kolorektal yang juga dikenali sebagai kanser usus ialah barah yang bermula di bahagian usus besar (kolon) atau rektum. Kanser usus biasanya bermula dengan pertumbuhan tisu abnormal atau ketumbuhan (polip) pada dinding usus dan boleh menjadi kanser jika tidak dikesan dan dirawat awal.\nKanser usus ialah satu daripada jenis kanser yang biasa didiagnosis dalam kalangan masyarakat. Di Malaysia, kanser kolorektal ialah kanser kedua yang paling kerap dikesan untuk kedua-dua jantina, iaitu lelaki dan perempuan. kanser paru-paru ialah kanser yang paling kerap dikesan bagi lelaki, manakala kanser payudara ialah kanser yang paling kerap dikesan dalam kalangan wanita.\nDi samping itu, kanser usus turut merekodkan kadar kematian yang tinggi. Kanser jenis ini merupakan kanser ketiga dan kedua tertinggi yang menyebabkan kematian dalam kalangan pesakit kanser.\nMenurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2020, anggaran kadar baharu bagi kanser usus ialah 1 931 590 kes, manakala kadar kematian pula direkodkan sebanyak 916 000 kes. Kes kematian yang tinggi ini mungkin berkaitan dengan fasa kanser tersebut dikesan. Jika majoriti pesakit yang menghidapi kanser kolon ini dikesan pada tahap lewat, maka kadar kemandirian mereka adalah rendah.\nMalaysian National Cancer Registry Report (MNCR) 2012-2016 melaporkan lebih 70 peratus kanser kolorektal dikesan berada pada tahap tiga dan empat, iaitu tahap akhir yang sukar untuk dirawat dan dipulihkan. Tambahan pula, kes kanser usus yang lewat dikesan ini menunjukkan peningkatan, iaitu daripada 58.7 peratus pada tahun 2007 hingga tahun 2011 kepada 63.7 peratus pada tahun 2012 hingga tahun 2016.\nSelain itu, disebabkan kebanyakan kes kanser usus dihidapi oleh individu yang tidak menunjukkan gejala awal, maka saringan awal adalah penting bagi pengesanan dan rawatan awal bagi kanser usus. Pengesanan awal kanser usus juga dapat meningkatkan kadar kemandirian dan kualiti hidup pesakit.\nKesedaran tentang kanser memainkan peranan penting dalam pengesanan awal dan membolehkan mereka mendapatkan rawatan. Hal ini dikatakan demikian kerana jika semakin ramai yang memahami risiko kanser usus dan mengambil langkah tertentu untuk mengurangkan risiko ini seperti mengamalkan pemakanan sihat dan mengadakan saringan kanser secara berkala, maka semakin tinggi peluang untuk mengesan kanser usus pada peringkat awal.\nDalam konteks rakyat di Malaysia, kesedaran terhadap faktor risiko dan gejala bagi kanser kolon masih lagi rendah. Jika diteliti dengan lebih mendalam, kita akan dapati bahawa kesedaran penduduk bandar mengenai hal ini adalah lebih tinggi berbanding dengan penduduk di luar atau pinggir bandar. Hal ini berpunca daripada kemudahan kesihatan dan kempen kesedaran yang lebih mudah dicapai di kawasan bandar. Oleh sebab itu, pendedahan tentang kanser usus perlu dipergiatkan, terutamanya di luar bandar dan kawasan pedalaman. Program saringan kanser secara besar-besaran juga harus dijalankan, sama ada oleh pihak kerajaan mahupun organisasi swasta.\nSelain itu, ahli keluarga terdekat yang mempunyai latar belakang pendidikan kesihatan juga sangat memainkan peranan dalam memberikan kesedaran dan mempengaruhi keputusan seseorang seperti membuat pilihan untuk menjalani saringan kanser usus. Dalam hal ini, ahli keluarga tersebut boleh memberikan sokongan emosi dan moral, memberikan informasi tentang pentingnya menjalani ujian saringan dan cara untuk melakukannya. Ahli keluarga yang mempunyai ilmu kesihatan ini juga boleh memberikan nasihat tentang gaya hidup yang sihat seperti pemakanan yang seimbang dan senaman yang dapat mengurangkan risiko kanser usus.\nMenurut Clinical Practice Guidelines: Management of Colorectal Carcinoma versi tahun 2017 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ujian saringan seperti ujian immunochemical fecal occult blood (iFOBT) atau kolonoskopi seharusnya ditawarkan kepada orang ramai yang berusia antara 50 tahun hingga 75 tahun.\nJika saringan iFOBT adalah negatif, orang ramai disarankan untuk mengulangi ujian tersebut pada tahun berikutnya. Saringan iFOBT hanya melibatkan kos sebanyak RM20 untuk satu ujian. Ujian tersebut boleh dilakukan di klinik kesihatan kerajaan dan Pusat Saringan Kesihatan Institut Biologi Molekul Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UMBI).\nSementara itu, ujian kolonoskopi disarankan untuk dilakukan pada setiap 5 tahun jika keputusannya ujian adalah negatif.\nTerdapat beberapa faktor risiko bagi penyakit kanser usus. Antaranya termasuklah faktor usia. Menurut statistik, sebanyak 80 peratus daripada golongan masyarakat yang berusia 45 tahun ke atas cenderung untuk menghidap kanser usus. Walau bagaimanapun, data ini tidak menafikan golongan muda yang boleh menghadapi risiko kanser usus sekiranya gejala kanser usus wujud pada individu terbabit.\nSelain itu, faktor genetik juga menjadi satu daripada faktor risiko bagi penyakit kanser usus. Hal ini bermaksud jika dalam rekod kesihatan keluarga, terdapat individu yang menghidap kanser atau kanser usus, maka risiko untuk seseorang itu untuk menghidap kanser usus adalah lebih tinggi berbanding dengan individu yang tidak mempunyai rekod kanser dalam kalangan ahli keluarganya.\nKanser usus juga berkait rapat dengan corak pemakanan. Dalam konteks ini, pengambilan serat yang tidak mencukupi serta pengambilan daging merah seperti daging lembu dan kambing serta makanan pemprosesan seperti sosej dan patti burger yang berlebihan akan meningkatkan risiko terhadap pencetusan kanser usus.\nCorak pemakanan rakyat Malaysia dilaporkan agak tidak sihat. Fakta ini dibuktikan dengan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 yang dilakukan setiap empat tahun sekali. Dalam tinjauan ini, hampir 95 peratus rakyat Malaysia tidak mengambil sayur-sayuran seperti yang disarankan oleh KKM.\nBagi meningkatkan kesedaran dan kadar saringan kanser usus dalam kalangan masyarakat, UMBI yang merupakan antara Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HiCoE) Kementerian Pengajian Tinggi telah menjalankan beberapa projek komuniti tentang kesedaran dan penyaringan awal bagi kanser kolorektal. Kumpulan sasaran projek ini terdiri daripada mereka yang rentan terhadap kanser seperti individu yang mempunyai sejarah keluarga bagi kanser usus atau yang tidak mampu membiayai kos saringan.\nUMBI ialah satu-satunya Pusat HiCoE yang berfokuskan kajian biopenanda kanser bagi pengesanan awal dan rawatan jitu kanser. Beberapa siri kempen kesedaran dan saringan awal telah dijalankan secara percuma di projek perumahan rakyat (PPR) di Desa Tun Razak, Flat Sri Kota dan Flat Sri Sabah. Peserta yang berkeputusan positif dalam saringan ini turut diberikan rawatan susulan kolonoskopi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) secara percuma.\nBulan kesedaran kanser kolorektal disambut pada Mac setiap tahun. Sempena bulan kesedaran ini, orang ramai disarankan untuk mengamalkan gaya hidup sihat untuk mencegah kanser kolorektal. Orang ramai juga digalakkan untuk menjalani ujian saringan secara berkala jika berusia antara 50 tahun hingga 75 tahun, lebih-lebih lagi sekiranya mempunyai gejala awal kanser kolorektal.\nJangan berlengah untuk melakukan saringan awal, menjalani pemeriksaan lanjut dan mendapatkan nasihat doktor sekiranya anda berisiko tinggi untuk menghidap kanser kolorektal. Pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati.\n_______________________________________________________________\nAaina Suraya binti Ahmad ialah Pembantu Penyelidik di UMBI, UKM. \nGoh Ying Xian ialah Pegawai Penyelidik di UMBI, UKM." "Seminar MPA Tingkatkan Kemahiran Ahli Fisioterapi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Seminar Electrophysical Agents in Physical Therapy and Rehabilitation anjuran Persatuan Fisioterapi Malaysia (MPA) yang diadakan di Hospital Rehabilitasi ReGen hari ini bermanfaat untuk ahli fisioterapi di Malaysia yang dapat memberikan pemahaman yang lebih baik tentang penggunaan agen elektrofizikal dalam terapi dan rehabilitasi.\nMenurut Presiden MPA, YBrs. Profesor Madya Dr. Haidzir Abd Manaf, seminar ini merupakan usaha murni yang dilaksanakan oleh MPA untuk membawa seminar bertaraf antarabangsa ke Malaysia.\nDiharapkan melalui kursus ini juga, ahli fisioterapi di Malaysia diharapkan dapat mempelajari sesuatu yang baharu dan memberikan perkhidmatan yang berkesan serta berkualiti kepada pesakit di bawah seliaan mereka.\n\u00a0\nSebanyak 50 orang ahli fisioterapi di seluruh Malaysia daripada pelbagai institusi kerajaan dan swasta telah menyertai seminar ini. Salah seorang peserta seminar ini, Puan Nur Shafiqah Khairnaim menyatakan harapan beliau agar seminar seumpama ini dapat dianjurkan pada setiap tahun kerana mampu memberikan ilmu yang berharga kepada para peserta.\n\u00a0\nSetakat ini, MPA telah berjaya mengadakan beberapa seminar, kursus dan bengkel yang berkualiti serta bertahap antarabangsa seperti Vestibular Rehabilitation dan Dry Needling Course Level 1.\nUntuk maklumat lanjut tentang MPA dan kursus yang ditawarkan, sila layari laman sesawang MPA dan Facebook rasmi MPA.\n\u00a0\nTurut hadir dalam seminar ini ialah Presiden International Society for Electrophysical Agents in Physical Therapy (ISEAPT), YBrs. Profesor Ah-Cheng Goh dan penceramah tersohor serta bertaraf antarabangsa seperti YBrs. Profesor Madya Katsuhiro Furukawa serta pembantu profesor Yuichi Abe dari Universiti Iryo Sosei, Iwaki, Jepun." "Saranan Pemakanan untuk Pesakit Psoriasis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPsoriasis ialah penyakit kulit yang tidak berjangkit akibat gangguan sistem imun pada badan yang dialami oleh lebih daripada 60 juta populasi dunia. Menurut laporan tahunan yang dikeluarkan oleh Persatuan Dermatologi Malaysia, sebanyak 21 770 individu dewasa dilaporkan menghidap penyakit tersebut.\nPsoriasis plak (psoriasis vulgaris) ialah psoriasis yang paling umum dengan gejala tompok merah dan bersisik putih dengan pelbagai saiz dan ketebalan di kulit kepala, lutut, siku dan badan yang boleh menyebabkan kegatalan dan kemerahan. Gejala ini mampu memberikan impak kepada kualiti hidup pesakit kerana menganggu kehidupan seharian dan prestasi di tempat kerja. Selain itu, penghidap pesakit ini juga terpaksa menampung kos perbelanjaan rawatan yang tinggi.\nWalaupun penyebab penyakit ini tidak dapat dikenal pasti, penyakit lain seperti kencing manis, hiperlipidemia, obesiti, tekanan darah tinggi dan stres dikaitkan dengan faktor risiko berlakunya psoriasis. Amalan permakanan yang tidak sihat seperti pengambilan makanan yang mempunyai lemak yang tinggi dan rendah serat di samping pengambilan alkohol boleh mempengaruhi keterukan simptom psoriasis.\nSelain itu, gaya hidup yang tidak aktif dan merokok boleh memburukkan lagi psoriasis.\nKajian terkini menunjukkan bahawa keterukan simptom psoriasis dan kualiti hidup dapat dipertingkatkan dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat.\n\u00a0\n\u00a0\nAntara saranan pemakanan bagi mengurangkan keradangan dalam kalangan pesakit psoriasis termasuklah:\nDiet Rendah Lemak dan Kalori\nDiet rendah kalori, yakni kurang daripada 1000 kilokalori (kcal) per hari bukan hanya dapat mengurangkan berat, malah memberikan manfaat kepada pesakit psoriasis. Namun demikian, diet rendah kalori perlulah diawasi oleh pegawai dietetik kerana sebahagian besar penghidap penyakit ini mempunyai penyakit lain seperti kencing manis dan darah tinggi yang memerlukan intervensi diet secara individu.\nDiet Mediterranean \nAmalan pemakanan yang seimbang dapat mengurangkan keradangan sistemik pada badan. Diet Mediterranean yang kaya dengan nutrien antiradang menekankan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran, kekacang, ikan, minyak zaitun, bijirin penuh dan legum.\nBuah-buahan dan sayur-sayuran segar juga mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi seperti antosianin. Antaranya termasuklah brokoli, bayam, bunga kubis, kubis daun, strawberi, anggur, rasberi, pisang dan oren. Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran sekurang-kurangnya lima hidangan setiap hari disyorkan untuk memenuhi keperluan nutrisi dalam badan.\nSelain itu, makanan yang mengandungi asid lemak monotaktepu seperti kekacang dan minyak zaitun serta asid lemak politaktepu, terutamanya omega-3 yang tinggi dalam ikan laut seperti ikan sardin, tuna, makerel dan salmon juga digalakkan. Kajian menunjukkan bahawa pengamalan diet Mediterranean juga dapat mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.\nDiet Bebas Gluten \nPenghidap psoriasis mempunyai risiko tiga kali lebih tinggi untuk mendapat penyakit seliak yang juga merupakan penyakit gangguan autoimun. Kajian menunjukkan bahawa dengan mengelakkan makanan yang mempunyai kandungan gluten yang tinggi seperti barli, oat, tepung gandum dan rai dapat mengurangkan tahap keradangan psoriasis.\nNamun begitu, diagnosis pemakanan perlu dibuat terlebih dahulu sebelum mengamalkan diet ini. Diet jenis ini juga harus dipantau oleh pegawai dietetik bagi mengelakkan kekurangan zat makanan.\nMakanan Tambahan\nPengambilan makanan tambahan seperti vitamin D, terutamanya vitamin D2 dan probiotik dapat mengurangkan dan membantu mengawal penyakit psoriasis. Walau bagaimanapun, pesakit perlulah berunding dengan doktor terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.\nSecara umumnya, walaupun tabiat pemakanan dapat mengurangkan keterukan gejala psoriasis, namun amalan dan gaya hidup yang sihat juga memainkan peranan yang penting dalam mengawal penyakit psoriasis. Mengurangkan pengambilan alkohol, menghentikan tabiat merokok dan meningkatkan aktiviti fizikal juga bermanfaat membantu penghidap psoriasis.\n\u00a0\nAktiviti Fizikal untuk Menurunkan Berat Badan. \nPenurunan berat badan boleh mengurangkan gejala psoriasis pada kulit. Yayasan Psoriasis Kebangsaan mengesyorkan penghidap penyakit psoriasis perlu melakukan aktiviti pada keamatan sederhana seperti berjalan pantas dan latihan kekuatan selama 30 minit, sekurang kurangnya lima kali seminggu.\nAktiviti senaman seperti berenang dan berjoging dengan menggunakan pakaian yang sesuai disarankan untuk mengelakkan iritasi pada kulit dan meminimumkan ketidakselesaan pesakit untuk bersenam.\nMengelakkan Pengambilan Alkohol dan Merokok \nGejala psoriasis boleh meningkat dengan pengambilan alkohol yang berlebihan kerana tindakan tersebut mengurangkan kesan ubat dan meningkatkan keradangan. Selain itu, pesakit boleh mengalami dehidrasi dan kekeringan kulit. Oleh sebab itu, pengurangan pengambilan minuman beralkohol amatlah digalakkan.\nSelain itu, kandungan nikotin di dalam asap rokok boleh memburukkan lagi gejala psoriasis. Oleh hal yang demikian, pesakit disarankan untuk berhenti merokok." "UKM dan PAWE Wangsa Maju Jalin Kerjasama dalam Penyelidikan Pertuturan Dwibahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Suatu program penyelidikan untuk menilai tahap keupayaan memahami dan menghasilkan pertuturan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam kalangan warga emas berbangsa Melayu telah diadakan di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Cawangan Wangsa Maju yang terletak di PPR Gombak Setia, semalam.\nProgram penyelidikan tersebut telah dilaksanakan oleh sekumpulan penyelidik dari Makmal [email\u00a0protected] Kebangsaan Malaysia yang diketuai oleh Dr. Fatimah Hani Hassan.\nSebanyak 15 orang ahli PAWE Wangsa Maju yang memiliki keupayaan bertutur dalam dwibahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris telah terpilih untuk menjalani penyelidikan tersebut.\nMenurut Pengerusi PAWE Wangsa Maju, Encik Abdullah bin Talip, beliau menggalakkan pelibatan golongan warga emas dalam aktiviti yang merangsangkan minda dan kesihatan.\nKami sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelbagai pihak, termasuklah badan kerajaan dan bukan kerajaan yang mempunyai usaha ke arah kesejahteraan golongan warga emas.\nGolongan warga emas mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami masalah neurologi seperti strok dan demensia. Individu dengan gangguan neurologi sering mengalami keadaan kurang atau hilang keupayaan berbahasa yang mengganggu fungsi komunikasi mereka dengan orang lain. Gangguan ini dikenali sebagai afasia.\nMemandangkan masyarakat Malaysia rata-ratanya mempunyai keupayaan menggunakan lebih daripada satu bahasa, penyelidikan yang berfokuskan keupayaan dwibahasa adalah penting untuk dijalankan di negara ini.\nUsaha penyelidikan ini merupakan langkah awal bagi memahami fungsi otak dalam memproses input dan output dwibahasa dalam kalangan individu yang tidak mempunyai sebarang gejala neurologi.\nKefahaman terhadap sistem pemprosesan dwibahasa membantu terapi pertuturan dan bahasa melakukan penilaian dan membentuk rawatan yang berkesan untuk individu yang mengalami afasia dan hidup dalam masyarakat pelbagai bahasa." "Memartabatkan Bahasa Melayu ke Serata Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0 Satu Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu akan diadakan selama tiga hari, iaitu pada 22 Mei 2022 hingga 24 Mei 2022 untuk memartabatkan bahasa Melayu ke persada dunia. Simposium tersebut akan menghimpunkan banyak tokoh tempatan dan luar negara dari 15 buah negara. Antaranya termasuklah Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand, Singapura, Korea Selatan, Australia, China, Rusia, Perancis, Azerbaijan, Kampuchea, Uzbekistan, Amerika Syarikat dan Belanda.\nSehubungan dengan itu, slot Selamat Pagi Malaysia, terbitan RTM pada pagi tadi menampilkan Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang juga merangkap Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, dan Dr. Kamarul Zaman Haji Yusoff, Pegawai Khas Perdana Menteri, yang juga merangkap Pengarah Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu. Simposium ini bakal menjadi sejarah penting buat negara dan melakarkan kejayaan kepada bahasa Melayu pada hari ini dan pada masa akan datang.\nSebagai tanda sokongan terhadap gagasan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob berkaitan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN, simposium ini diwujudkan dalam usaha memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.\nMenurut Profesor Datuk Seri Awang Sariyan, banyak pakar bahasa dari serata dunia akan membincangkan pelbagai topik yang berkaitan dengan bahasa Melayu yang pastinya dapat mengumpulkan banyak data dan maklumat serta kajian terperinci berkaitan dengan bahasa Melayu. Melalui simposium ini juga, masyarakat akan lebih jelas mengenai fungsi DBP itu sendiri yang turut berperanan dalam usaha merealisasikan gagasan ini.\nSelain itu, menurutnya lagi, dalam simposium ini juga akan diadakan Mesyuarat Meja Bulat Khas pada 23 Mei 2022, iaitu pada Isnin depan untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan dengan bahasa Melayu khasnya cadangan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.\nBeliau berkata, sidang meja bulat tersebut adalah untuk merangka pelan tindakan dari segi ilmiah dan diplomasi bersama-sama negara ASEAN lain. Selain itu, melalui meja rundingan ini, beliau turut\u00a0 berharap agar sebarang isu pertikaian tentang bahasa Melayu di peringkat ASEAN juga dapat diatasi.\nSementara itu, Dr. Kamarul Zaman Haji Yusoff pula berkata, banyak maklum balas yang diterima oleh Pejabat Perdana Menteri berhubung dengan kenyataan dan gagasan YAB Perdana Menteri yang serius mahu memartabatkan bahasa Melayu di peringkat nasional, ASEAN dan antarabangsa dan hal tersebut telah mendapat perhatian YAB Perdana Menteri sendiri.\n\u201cBeliau sendiri mengutarakan pandangan selepas pertemuan dan perbincangan dengan pakar dan pejuang bahasa berkenaan dengan situasi yang melanda bahasa Melayu selepas pengumumannya itu.\u201d\nMenurutnya lagi, pihaknya turut mengadakan pelbagai aktiviti sampingan bagi menyemarakkan lagi simposium ini seperti Forum Memartabatkan Bahasa Melayu di Rantau ASEAN, Debat Terbuka Keluarga Malaysia, Sayembara Deklamasi Puisi Bahasa Melayu Antarabangsa 2022 dan pameran.\nSimposium anjuran bersama Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama DBP dan ATMA, ini\u00a0 akan dirasmikan Perdana Menteri pada hari Ahad ini. Oleh itu, orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan simposium ini serta melonjakkan lagi semangat mencintai bahasa kebangsaan. Jangan lupa untuk melayari media sosial rasmi DBP untuk perkembangan terkini simposium ini. Tonton video penuh di sini." "Satelit Pantau Kegiatan Penerokaan di Cameron Highlands\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCameron Highlands \u2013 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama-sama Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands (PDTCH) serta Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) di Hotel Zenith Cameron Highlands, Pahang.\nMoU tersebut ialah kesinambungan kepada kerjasama strategik antara MYSA dengan PDTCH yang telah dimulakan sejak tahun 2011. Kerjasama strategik tersebut tertumpu kepada penggunaan teknologi angkasa, khususnya imej satelit penderiaan jauh (remote sensing) bagi tujuan perancangan, pemantauan aktiviti dan mitigasi pembangunan tanah di Cameron Highlands.\nBerdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh MYSA, keupayaan satelit merakam aktiviti permukaan bumi secara kerap, berulang, liputan yang luas dan menghasilkan imej digital beresolusi tinggi atau mampu memfokuskan ketepatan hingga 50 sentimeter membolehkan pengesanan sebarang perubahan tanah di Cameron Highlands dapat dilakukan dengan lebih cekap dan berkesan.\nKesemua maklumat yang diperoleh melalui satelit ini kemudiannya akan dirangkumkan ke dalam satu sistem khusus yang beroperasi secara dalam talian. Sistem ini dikenali sebagai Sistem iPantau Cameron Highlands.\nMenerusi kenyataan media tersebut juga, sistem yang dibangunkan dan dioperasikan melalui kerjasama strategik ini dimanfaatkan dalam operasi bersepadu Ops Gading dan Ops Lestari pada tahun 2014 hingga tahun 2016 bagi menangani dan membanteras aktiviti pembukaan tanah secara haram di Cameron Highlands.\nSistem ini juga akan diperkasakan lagi dengan penambahan modul pemantauan baharu dan penggunaannya diperluaskan bagi kegunaan pihak berkuasa berkaitan di Cameron Highlands melalui MoU tersebut.\nPada masa yang sama, penggunaan teknologi penderiaan jauh angkasa dan Sistem iPantau Cameron Highlands sedia ada akan terus beroperasi bagi meningkatkan aspek pengurusan tanah seperti pengukuran semula sempadan Lesen Pendudukan Sementara (LPS), pengemaskinian data LPS sedia ada dan aspek pemantauan lain yang dilaksanakan oleh pihak PDTCH dan PKCH secara berterusan dari semasa ke semasa.\nMajlis menandatangi MoU tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah MYSA, YBrs. Tuan Haji Azlikamil Napiah dan Pegawai Daerah PDTCH merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PKCH, YBrs. Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman.\nTurut berkenan berangkat dan menyaksikan majlis berkenaan ialah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim serta wakil agensi lain yang berkaitan." "Kecekalan Usahawan OKU Menjadi Inspirasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kopi berjenama Koppi Duo Qerat (KDQ) kini semakin mendapat perhatian dan sambutan daripada orang ramai, terutamanya penduduk di Lembah Klang. Pemiliknya, Encik Izzhar yang merupakan seorang Orang Kurang Upaya (OKU) akibat lumpuh kerana kecederaan saraf tunjang bergiat aktif dalam memperkenalkan dan mempromosikan minuman KDQ ini.\nMenurut Encik Izzhar, perniagaan KDQ dengan motonya \u201cDua Kali Lebih Sedap\u201d sebenarnya telah diadun dengan menggunakan susu dan kopi yang berkualiti tinggi bagi menimbulkan rasa keenakan yang luar biasa.\nPerniagaan ini dapat membantu saya menjadi lebih aktif. Hal ini adalah penting bagi mengelakkan diri saya daripada kemurungan atau terkurung di dalam rumah sahaja selain dapat menambah pendapatan dan ekonomi keluarga.\nMelalui Karnival Hari Terbuka Putrajaya di bawah Persatuan Orang Kurang Upaya Putrajaya (PROCJAYA), perniagaan KDQ yang mempunyai pelbagai perasa seperti perasa asli, vanilla latte, hazelnut latte, caramel machhiato, mocha dan coklat mendapat sambutan yang luar biasa daripada para pengunjung.\nSalah seorang pengunjung yang membeli KDQ ini menyatakan bahawa minuman ini sememangnya lebih sedap daripada kopi yang popular dalam pasaran dan pembeli tidak akan berasa rugi jika membelinya.\nUntuk makluman, sejarah perniagaan KDQ ini bermula apabila Encik Izzhar bertekad untuk bangkit semula melalui perniagaan walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Beliau ingin membuktikan bahawa golongan OKU juga boleh menjadi luar biasa.\nMelalui kopi ini, saya berharap agar lebih banyak rakan OKU seperti saya terinspirasi dan akhirnya bangkit untuk menjadi lebih aktif dan sihat.\nEncik Izzhar dan KDQ semakin bergiat aktif dalam menyertai pelbagai karnival dan program jualan, terutamanya di sekitar Lembah Klang. Untuk maklumat lanjut berkaitan dengan KDQ, sila layari Facebook rasmi KDQ." "Kakitangan FSK, UKM Amal Gaya Hidup Sihat Menerusi Aktiviti Bersukan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Acara kemuncak Hari Sukan Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diadakan semalam dengan penganjuran Majlis Penyampaian Hadiah Hari Sukan FSK yang diadakan di Dewan Kuliah 1, FSK.\nMenurut Dekan FSK, Yang Berbahagia Profesor Dr. Suzana Shahar yang hadir untuk menyampaikan hadiah dalam majlis berkenaan, aktiviti fizikal ini akan menjadikan warga FSK terus kekal aktif.\n\u201cSebagai fakulti perintis dalam bidang sains kesihatan di Malaysia, usaha ini akan menjadi contoh dan teladan kepada semua pihak bagi mendokong aspirasi sihat sepanjang hayat sebagai teras utama kepada kemakmuran institusi.\u201d\nHari Sukan FSK yang pertama bagi tahun 2023 ini meyaksikan pelibatan enam pusat FSK, iaitu Pejabat Dekan; Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan (CORE); Pusat Kajian Diagnostik, Terapeutik dan Penyiasatan (CODTIS); Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas (iCaReHab); Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-Care); dan Pusat Kajian Kesihatan Komuniti (ReaCH).\nAntara program pengisian bagi Hari Sukan FSK ini termasuklah Cabaran Langkah FSK yang telah diadakan pada 1 Februari hingga 28 Februari 2023. Sebanyak 179 warga FSK telah menyertai program ini dengan tema \u201cKekal Aktif, Cergas dan Sihat Hingga Akhir Hayat\u201d.\nDalam pertandingan ini, Encik Raazliza Rashid dari H-Care telah memenangi kategori individu lelaki dengan jumlah langkah sebanyak 764 725 langkah. Sementara itu, Dr. Nurul Farhana Jufri dari CORE telah mengungguli kategori wanita dengan pencapaian sebanyak 1 025 761 langkah.\nSelain itu, acara sukaneka untuk warga FSK turut diadakan di padang Kolej Tun Syed Nasir, UKM. Terdapat lima acara telah dipertandingkan, iaitu Seiring Sejalan, Boling Kelapa, Bawa Bola Guna Gelung, Train to Busan dan Bagai Menatang Minyak yang Penuh. Pungutan mata daripada Cabaran Langkah FSK dan acara sukaneka telah menobatkan CORE sebagai johan keseluruhan bagi Hari Sukan FSK kali ini.\n\u00a0\nSebagai rekod, Hari Sukan FSK merupakan aktiviti berkala yang dianjurkan sebanyak empat kali setahun untuk menggalakkan dan menjadikan warga FSK sebagai kakitangan yang sentiasa aktif melakukan aktiviti fizikal, di samping menjadikan aktiviti tersebut sebagai satu budaya." "Pembedahan Robotik Tangani Kegagalan Fungsi Tiub Eustachio\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kegagalan fungsi tiub Eustachio menyebabkan kekurangan pengudaraan pada bahagian telinga tengah seseorang. Kesannya pada jangka masa panjang akan mengakibatkan bahagian telinga mengumpul air, sekali gus seseorang yang menghadapi masalah ini akan mengalami gangguan pendengaran.\nMenyentuh perihal ini, rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menampilkan Pakar Perunding Otorinolaringologi, UiTM Private Specialist Centre, YBrs. Dr. Ahmad Kusyairi Khalid bagi mengupas topik perbincangan yang bertajuk \u201cPembedahan Robotik untuk Leher dan Kegagalan Tiub Eustachio\u201d.\nMenurut YBrs. Dr. Ahmad Kusyairi Khalid, tiub Eustachio ialah tiub yang menghubungkan bahagian belakang hidung ke bahagian telinga tengah manusia. Tiub ini memberikan pengudaraan kepada telinga tengah.\nTambah beliau, dalam beberapa situasi, misalnya seseorang itu mengalami keadaan seperti telinga berasa \u201cpenuh\u201c walaupun telah menelan air liur, menguap atau cuba menghembus nafas semasa menutup hidung, tindakan tersebut masih menyebabkan ketidakselesaan. Hal ini berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya termasuklah\u00a0kegagalan tiub Eustachio berfungsi kerana otot tiub tersebut kurang baik atau hidung mengalami masalah yang menyebabkan pengudaraan tidak sampai ke tiub itu seperti hidung tersumbat, resdung ataupun masalah rinitis.\nKesedaran tentang kegagalan tiub Eustachio dalam kalangan masyarakat masih berada pada tahap yang rendah. Orang ramai masih tidak cakna ataupun tidak mengetahui tentang kepentingan tiub ini. Tanda seperti telinga \u201cpenuh\u201c yang berisi udara atau tidak boleh mendengar adalah antara simptom yang disebabkan oleh kegagalan tiub ini.\nJelas beliau lagi, situasi kegagalan tiub Eustachio ini lebih kerap berlaku kepada golongan kanak-kanak. Hal ini dikatakan demikian kerana tiub Eustachio telinga kanak-kanak adalah lebih pendek berbanding dengan orang dewasa. Kedudukan tiub tersebut juga lebih mendatar. Apabila kedudukannya mendatar, fungsi tiub Eustachio ini berkurangan berbanding dengan kedudukan tiub Eustachio orang dewasa yang sedikit menegak.\nPada masa yang sama, sesetengah kanak-kanak yang mengalami sindrom Down juga mempunyai tiub Eustachio yang lebih pendek berbanding dengan individu yang normal serta risiko mengalami kegagalan tiub berkenaan lebih tinggi.\nBeliau melanjutkan lagi ruang bicaranya dengan mengupas kaedah untuk mengatasi kegagalan tiub Eustachio. Beliau menegaskan bahawa tiub ini bukan sahaja boleh dirawat melalui pembedahan robotik, malah terdapat teknik yang boleh digunakan untuk memberikan pengudaraan kepada telinga tengah. Caranya adalah dengan meletakkan tiub ventilasi (ventilation tube) di gegendang ataupun memasukkan belon melalui hidung ke tiub ini bagi menghubungkan telinga tengah ke belakang hidung. Teknik ini dikenali sebagai balloon tuboplasty atau balloon eustachian tuboplasty.\nPakar untuk melakukan pembedahan robotik tidak banyak, terutamanya pembedahan yang melibatkan bahagian kepala dan leher. Oleh itu, kaedah robotik dalam pembedahan kepala dan leher diutamakan kepada pesakit kanser atau pesakit yang mengalami ketumbuhan di dalam rongga pernafasan, pita suara dan bahagian farinks.\nPada akhir sesi temu bual, beliau berkongsikan beberapa kaedah untuk menjaga tiub Eustachio, misalnya memastikan diri tidak terdedah kepada alahan seperti hidung tersumbat dan melakukan maneuver Valsalva (pergerakan Valsalva) yang akan meningkatkan fungsi tiub ini." "Balai Ikhtisas Malaysia Anjur Program Bakat Citra Rasa OKU Penglihatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bertempat di Yayasan Orang Buta Malaysia, Kuala Lumpur, Balai Ikhtisas Malaysia (BIM) atau Malaysian Professional Centre dengan kerjasama Yayasan Orang Buta Malaysia, Next Generation dan WiLAT, The Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia (CILTM), Association of Malaysian Optometrist (AMO), IKK and Redland Aviation Services serta agensi berkaitan telah menganjurkan Program Bakat Citra Rasa. Program ini memberikan peluang kepada golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan meluahkan rasa dan perasaan sebagai golongan OKU bersempena dengan Hari Braille Sedunia yang disambut pada 4 Januari 2023 tahun ini.\nMenurut Presiden BIM, YBrs. Dr. Wilmot Sasindran Dass, program ini diadakan untuk memberikan pendedahan kepada golongan profesional, khususnya yang berkepentingan bagi menjayakan program pemindahan ilmu dengan komuniti OKU. Selain itu, ahli BIM bersama-sama komuniti OKU dapat meluahkan perasaan serta meningkatkan kemahiran dan keyakinan dalam berkomunikasi di hadapan khalayak ramai di samping menerapkan nilai murni dan kasih sayang menerusi program yang dianjurkan ini.\nProgram ini dihadiri oleh ahli profesional BIM dan rakan kerjasama serta peserta dalam kalangan OKU penglihatan sekitar Lembah Klang. Kerjasama ini bukan sahaja dapat memupuk keprihatinan golongan profesional terhadap golongan OKU yang sebenarnya merupakan komponen dalam masyarakat madani seperti yang digagaskan menerusi Malaysia Madani. Enam prinsip yang digariskan, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan sudah tentunya dapat dipraktikkan dengan berkesan oleh peserta dalam program sedemikian.\nProgram yang penuh bermanfaat ini dilaksanakan dengan pelbagai aktiviti seperti sesi ceramah daripada Naib Presiden AMO, Encik Muhamad Syukri Mohamad Rafiuddin, sesi perkongsian pengalaman daripada peserta OKU penglihatan, pertandingan penyampaian pengalaman masing-masing oleh peserta OKU, pemeriksaan mata oleh pakar mata, penyampaian hadiah kepada peserta OKU dan penyerahan cenderamata buku Braille kepada Yayasan Orang Buta Malaysia.\nDengan adanya program seumpama ini, BIM dapat mendengar segala luahan dan perkongsian daripada para peserta OKU penglihatan. Oleh yang demikian, BIM berusaha membantu mereka dengan mencadangkan kepada pihak yang berkaitan untuk menambak baik sistem sedia ada atau memberikan inovasi kepada pelaksanaan program mahupun pelbagai kemudahan kepada golongan ini." "Malaysia Perlu Perbanyak Jurutera demi Pembangunan Mampan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Malaysia memerlukan lebih banyak jurutera untuk membantu negara mencapai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke arah membina masa hadapan yang lebih mampan untuk rakyat.\nMenurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataannya semalam, statistik yang dikeluarkan oleh Lembaga Jurutera Malaysia melaporkan sebanyak 187 900 orang jurutera telah berdaftar secara rasmi di negara ini pada tahun lepas.\nSementara itu, nisbah jurutera kepada penduduk Malaysia pada masa ini ialah 1:170 berbanding dengan 1:100 di negara maju seperti Jerman dan Perancis.\nDaripada angka tersebut, sebanyak 172 900 orang jurutera terdiri daripada jurutera siswazah, 5900 orang jurutera profesional dan 9100 orang jurutera profesional dengan sijil amalan. Angka ini telah menunjukkan masih terdapat permintaan yang tinggi untuk profesion jurutera di Malaysia dalam usaha ke arah mencapai status negara pengeluar teknologi.\nStatistik berkenaan telah dimaklumkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Chang Lih Kang ketika merasmikan Hari Kejuruteraan Sedunia 2023 peringkat Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) yang bertemakan \u201cEngineering Possibilities\u201d.\nSementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Puan Dzuleira Abu Bakar menyatakan bahawa MRANTI menyokong hasrat untuk mempromosikan bidang kejuruteraan sebagai pilihan kerjaya dan menghidupkan semula semangat dalam kalangan generasi muda untuk merebut peluang yang tersedia dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).\nAktiviti bengkel STEM dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, pengekodan dan robotik ditawarkan termasuklah Program Sijil Reka Bentuk Simulasi Industri dan kursus Inovasi Percetakan Tiga Dimensi (3D).\nSelain itu, MRANTI juga menyediakan pusat inovasi komuniti yang dikenali sebagai MakersLab yang bertemakan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0). Pusat ini menjadi hab kepada komuniti inovator untuk berkumpul dan bertukar-tukar idea bagi menjalankan eksperimen bagi meningkatkan penciptaan dan inovasi tempatan.\nSusulan itu, Pertandingan Cabaran Reka Bentuk yang dilancarkan bersempena dengan Hari Kejuruteraan Sedunia 2023 merupakan seruan kepada belia untuk membabitkan diri dalam dialog berkaitan dengan gaya hidup di bandar yang lebih inklusif dari segi sosial, kemampanan diri dan penjanaan semula alam sekitar.\nPara belia, siswazah dan lepasan ijazah dari bidang kejuruteraan dan pelbagai disiplin lain diundang untuk bersaing dan melontarkan idea bandar pintar paling inovatif dalam bentuk prototaip yang boleh diaplikasikan.\nPenyertaan terbaik bagi pertandingan tersebut bakal menerima ganjaran pelaburan yang bernilai hingga RM30 000 untuk memacu cita-cita mereka dalam mentakrifkan semula kehidupan di bandar Malaysia.\nMenerusi kajian yang telah dijalankan, walaupun minat dan penghayatan pelajar di Malaysia terhadap sains adalah tinggi selama ini, namun mereka mempunyai keyakinan yang sangat rendah terhadap sains.\nOleh yang demikian, MOSTI memberikan keutamaan yang tinggi kepada program mempertajam kemahiran dan meningkatkan keyakinan pelajar dan belia dalam bidang kecerdasan buatan, robotik, pengkomputeran kuantum, pengekodan dan lain-lain sebagai pemangkin kepada keperluan tenaga mahir dalam bidang IR 4.0." "Suntikan Antikoagulan Selepas Bersalin Menyelamatkan Nyawa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nUmum mengetahui bahawa wanita berhadapan dengan pelbagai komplikasi selepas bersalin. Antara komplikasi tersebut termasuklah perdarahan postpartum dan masalah pembekuan darah.\nPembekuan darah boleh mengakibatkan kematian jika rawatan tidak diberikan. Menurut portal rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia, embolisme obstetrik, iaitu masalah pembekuan darah semasa hamil dan selepas bersalin dicatatkan sebagai penyebab utama kematian ibu bersalin pada tahun 2020 yang melibatkan sebanyak 18.8 peratus kes. Data ini menunjukkan peningkatan kes sebanyak 6.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.\nPenyakit tromboembolus vena (VTE) berlaku apabila darah beku terbentuk dalam salur darah vena lalu menghalang aliran darah di dalam badan. Terdapat dua jenis VTE, iaitu trombosis vena dalam (DVT) dan embolisme pulmonari (PE).\nDVT berlaku apabila darah beku berada di bahagian betis dan pelvis, manakala PE terjadi apabila darah beku tersebut pecah dan dibawa ke paru-paru, lalu menjejaskan fungsi paru-paru untuk menyerap oksigen dengan berkesan.\nRisiko untuk mendapat komplikasi darah beku adalah lebih tinggi bagi wanita yang bersalin secara pembedahan. Selain itu, antara faktor risiko lain termasuklah wanita yang menghidap penyakit yang menyebabkan darah menjadi pekat seperti trombofilia atau kekurangan protein S, ibu yang melalui pembedahan semasa hamil atau selepas bersalin seperti pembedahan apendisitis, ibu yang mempunyai penyakit darah tinggi semasa hamil dan berterusan selepas bersalin, muntah yang teruk semasa hamil, mengandung anak kembar, proses bersalin yang panjang (melebihi 24 jam), obesiti serta merokok.\nOleh sebab itu, wanita perlu peka dengan tanda darah beku seperti bengkak kaki atau sakit pada betis, sukar bernafas, sakit dada, batuk berdarah dan denyutan nadi menjadi sangat laju selepas bersalin. Jangan berlengah untuk mendapatkan rawatan di hospital atau klinik yang berdekatan sekiranya gejala ini dikesan awal.\nRawatan Ubat Suntikan Antipembeku Darah\nAntara langkah pencegahan yang boleh diambil bagi mengelakkan darah beku di dalam badan termasuklah meminum air yang banyak untuk mengelakkan dehidrasi, bergerak dengan lebih aktif dan berjalan atau memakai stoking khas seperti stoking mampatan. Namun, jika langkah pencegahan ini tidak berkesan, doktor akan mencadangkan pengambilan ubat antipembeku darah atau antikoagulan bagi mengelakkan komplikasi yang lebih serius.\nWanita yang berpotensi mengalami darah beku selepas bersalin akan diberikan suntikan antikoagulan seperti Enoxaparin, Heparin atau Fondaparinux. Pilihan ubat suntikan ini akan diberikan oleh doktor mengikut indikasi dan kesesuaian pesakit.\n\u00a0\nUbat suntikan hendaklah diambil dengan cara dan teknik yang betul. Yang berikut merupakan beberapa langkah yang perlu dipatuhi semasa melakukan suntikan.\nPerlu diingatkan bahawa teknik suntikan yang betul adalah penting bagi menjamin keberkesanan ubat ini. Picagari perlu dilupuskan dengan cara yang betul bagi mengelakkan kecederaan.\nPicagari yang telah digunakan perlu dikumpulkan dalam bekas yang tidak ditembusi seperti tin atau bekas plastik yang keras dan tebal seperti botol detergen. Bekas juga perlu sentiasa ditutup rapat. Buangkan ke dalam tong sampah atau serahkan bekas tesebut kepada farmasi di fasiliti kesihatan kerajaan untuk pelupusan.\nIsu Kandungan Porsin dalam Ubat Suntikan Enoxaparin\nMuzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 Jun hingga 25 Jun 2009 telah memutuskan bahawa penggunaan ubat yang mengandungi Enoxaparin adalah ditegah kerana dihasilkan daripada sumber yang diharamkan Islam, iaitu porsin atau khinzir.\nPada masa ini, telah terdapat ubat alternatif yang boleh digunakan sebagai antikoagulan, iaitu Fondaparinux yang dihasilkan daripada sumber yang halal dan mempunyai fungsi yang sama dengan Enoxaparin.\u00c2\u00a0Walau bagaimanapun, tiada bukti kukuh tentang keberkesanan ubat Fondaparinux dalam kalangan ibu hamil dan ibu yang baru melahirkan anak.\nDi samping itu, Enoxaparin didapati lebih selamat digunakan untuk ibu mengandung dan menyusukan anak, termasuklah pesakit yang mempunyai masalah buah pinggang berbanding dengan Fondaparinux. Enoxaparin juga didapati lebih berkesan berbanding dengan heparin.\nPemberian Enoxaparin kepada pesakit Muslim akan dilakukan setelah mendapat kebenaran secara bertulis daripada pesakit sebelum memulakan rawatan. Hal ini adalah selaras dengan Panduan Penggunaan Ubat-ubatan yang Mengandungi Unsur Tidak Halal kepada Pesakit Muslim di Kementerian Kesihatan Malaysia.\nPesakit harus berbincang dengan doktor sekiranya pesakit perlu mengambil ubat suntikan Enoxaparin yang memberikan lebih banyak manfaat daripada kesan mudarat mengikut keadaan klinikal pesakit, lebih-lebih lagi ketika darurat bagi tujuan menyelamatkan nyawa. Kefahaman pesakit tentang perkara ini juga sangat penting untuk mengelakkan sebarang keraguan serta menjamin kepatuhan pesakit dalam meneruskan rawatan.\nSekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).\n\u00a0\nNordalila Sabuan, Pegawai Farmasi UF52, Hospital Kajang." "UKRIDA dan UKM Pertingkat Kerjasama Antarabangsa bagi Program Optometri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Lawatan penandaarasan pendidikan tinggi oleh Universitas Krida Wacana Christian (UKRIDA) Indonesia ke Program Optometri dan Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam\u00a0 meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam memajukan Program Optometri di rantau ini.\nLawatan ini bukan sahaja menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa yang dapat meningkatkan kualiti dan kerelevanan pendidikan tinggi, malah membuka ruang untuk mencari kekuatan dan mengenali cabaran pada peringkat universiti masing-masing bagi mewujudkan komuniti pendidikan tinggi yang lebih dinamik.\nMenurut Dekan Fakulti Perubatan UKRIDA, Dr. Antonius R. Castilani, pihak mereka ingin melihat pengendalian Program Optometri di FSK yang telah mendapat akreditasi oleh Majlis Optik Malaysia dan menjadi pelopor kepada bidang optometri di Malaysia.\nKami ingin mencari kaedah yang bersesuaian untuk meningkatkan kapasiti pengajaran dan penyelidikan dalam bidang optometri.\nSementara itu, Ketua Program Optometri dan Sains Penglihatan, FSK, Dr. Mizhanim Mohamad Shahimin berkata pihak Program Optometri FSK amat menghargai lawatan penandaarasan ini dan berharap kerjasama positif ini boleh dipanjangkan untuk pengambilan pelajar pascasiswazah dan melatih pensyarah baharu untuk modal insan UKRIDA.\n\u00a0\nDelegasi yang terdiri daripada ahli akademik dan pentadbir UKRIDA melakukan lawatan di FSK, UKM selama sehari untuk mengetahui amalan terbaik pengurusan program, akta profesion optometri dan hal yang berkaitan dengan penyelidikan, pengajaran serta pelibatan masyarakat.\nSemasa lawatan itu, delegasi Indonesia kagum dengan kemudahan dan kapasiti Klinik Optometri FSK, UKM yang turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan mata untuk masyarakat umum. Delegasi juga berpeluang melihat makmal pengajaran dan penyelidikan yang tersedia di FSK, UKM." "ALAF-UKM Tawar Pelbagai Perkhidmatan Pendidikan Pelancongan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPekan \u2013 Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal, Universiti Kebangsaan Malaysia (ALAF-UKM) bakal menjadi pusat pendidikan pelancongan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada masyarakat selain menjadi pusat penyelidikan dan pembelajaran.\nALAF-UKM merupakan hasil penstrukturan semula tadbir urus empat buah makmal alami, iaitu Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), Pusat Penyelidikan Bukit Fraser (PPBF), Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) dan Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin (EKOMAR) berserta dua buah makmal fizikal, yakni Makmal Instrumentasi Berpusat UKM (i-CRIM) dan Makmal Bioserasi yang bertempat di UKM, Bangi. Kesemua makmal sebelum ini adalah di bawah tanggungjawab Pusat Tanggungjawab yang berbeza di UKM.\nNaib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, YBhg. Profesor Dato\u2019 Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman menyatakan bahawa pewujudan ALAM-UKM adalah sejajar dengan hasrat UKM yang memfokuskan penyelidikan yang bersifat komprehensif sekali gus memasyarakatkan kemudahan yang sedia ada untuk manfaat masyarakat dan negara.\nEmpat lokasi utama ALAF-UKM yang berada di timur, selatan, utara dan tengah Semenanjung Malaysia dilihat mempunyai peluang yang besar untuk menjadi hab kepada pembangunan masyarakat setempat bukan sahaja dalam bidang penyelidikan flora dan fauna, malah pendidikan pelancongan, penghasilan pelbagai modul ilmiah dan penarafan makmal alami ke arah status antarabangsa seperti di bawah United Nations Educational Scientific and Cultural Organi-sation (UNESCO).\nSelain menyediakan fasiliti sokongan penyelidikan, makmal alami ALAF-UKM turut menawarkan beberapa pakej pendidikan pelancongan seperti Forest Experience, Indigenous Explore, Tasik Chini Boat Tour, Night Walking, Bird Watching, Program Pengukuhan Pasukan dan Eksplorasi Sains. Kursus pemandu pelancong juga ditawarkan di PPL sebagai satu usaha menaikkan pendapatan masyarakat setempat di Langkawi.\nPelancaran ALAF-UKM ini dapat membantu mewujudkan ekosistem berpusat penyelidikan berteraskan perkhidmatan yang bersifat glokal. Kejayaan dan sumbangan besar setiap entiti di bawah ALAF-UKM terhadap pembangunan masyarakat dan negara diharapkan dapat diuar-uarkan dengan lebih meluas kepada semua pemegang taruh seperti kerajaan, komuniti, industri, badan bukan kerajaan dan agensi antarabangsa.\n\u201cPenubuhan ALAF-UKM dapat dijadikan sebagai contoh kepada institusi pendidikan tinggi yang lain dalam memberikan perkhidmatan berteraskan penyelidikan yang bermanfaat kepada masyarakat, industri dan negara,\u201d ujar beliau dalam Majlis Perasmian Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal UKM.\nMenurut beliau lagi, perkhidmatan makmal fizikal seperti Makmal i-CRIM dan Makmal Bioserasi telah berjaya menyokong dasar kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam menghasilkan penyelidikan dan inovasi yang dapat memberikan impak kepada masyarakat serta mempunyai daya pasaran yang tinggi untuk dikomersialkan hingga pada peringkat global.\nPermintaan yang tinggi dari dalam negara dan antarabangsa bagi perkhidmatan Makmal i-CRIM dan Makmal Bioserasi ini juga ialah satu peluang dan berpotensi tinggi dalam meningkatkan penjanaan kewangan dan keserlahan UKM.\n\u201cSelain penjanaan dalam wang ringgit menerusi Makmal i-CRIM dan Makmal Bioserasi, sumbangan besar pusat penyelidikan makmal alami dalam membantu masyarakat dan kerajaan setempat termasuklah masyarakat asal juga diperkasakan selaras dengan aspirasi UKM sebagai sebuah universiti watan,\u201d katanya lagi.\nUntuk makluman, ALAF-UKM ialah sebuah pusat perkhidmatan di UKM yang ditubuhkan bagi tujuan menyelaras dan memperkasakan aktiviti penyelidikan serta perkhidmatan secara strategik dan terancang. Penubuhan ALAF-UKM adalah antara langkah strategik bagi mencapai dua sasaran utama UKM, iaitu meningkatkan kebolehpasaran graduan dan penjanaan pendapatan." "Tahun Keajaiban Albert Einstein\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSelepas Albert Einstein menamatkan pengajiannya dari Z\u00fcrich Polytechnic pada tahun 1900, beliau mengalami kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan sebagai tenaga pengajar di universiti. Kesukaran itu berlarutan selama dua tahun lamanya.\nAkhirnya, ayah kepada kawan baiknya, iaitu Marcel Grossmann, berjaya membantu Einstein mendapatkan kerja di pejabat paten Swiss di Bern selepas hidup dalam kegelapan buat sekian lamanya. Rutin pekerjaan yang tidak begitu sukar semasa bekerja di situ memberikan ruang masa yang mencukupi untuknya meneroka alam fizik dengan lebih mendalam lagi. Perbincangan tentang fizik diteruskan di rumah bersama-sama isterinya, Mileva Maric yang handal dalam bidang matematik.\nEinstein terpukau dengan misteri fenomena fotoelektrik berdasarkan keputusan eksperimen yang dilakukan oleh Philipp Eduard Anton von Lenard. Pemenang Nobel 1905 itu telah menunjukkan bahawa tenaga kinetik elektron yang telah dikeluarkan (ejected) daripada permukaan logam spesimen cuma bergantung kepada frekuensi gelombang cahaya yang dipancarkan terhadap permukaan logam, bukan pada keamatan cahaya.\nPhilip Lenard tidak menjelaskan dengan lanjut secara kuantitatif mengapa keputusan sebegini dicapai. Keghairahan untuk mempersembahkan fenomena berdasarkan konsep matematik \u00a0mendorong Einstein menjadikan fenomena fotoelektrik sebagai tumpuan utamanya. Yang menariknya, Philip Lenard menjalankan kajian eksperimennya di universiti di Kiel, manakala Einstein meneruskan kajian secara teori di pejabat paten. Perhubungan mereka sememangnya baik pada permulaannya, namun menjadi teruk selepas beberapa tahun apabila Lenard mula mendukung idea Nazi dan secara terbuka mengecam pengaruh Yahudi, terutamanya teori relativiti yang dikemukakan selepas lebih sedekad itu.\nEinstein mengandaikan bahawa sinaran cahaya terdiri daripada gumpalan zarah yang dipanggil foton. Setiap foton berupaya bergerak dengan halaju cahaya, iaitu 300 ribu kilometer per saat (km/s). Tenaga kinetik yang terkandung dalam setiap foton berkadar langsung dengan frekuensi sinaran cahaya.\nKonsep foton telah ditonjolkan buat pertama kalinya oleh Max Plank apabila cuba menjelaskan fenomena sinaran jasad hitam (blackbody radiation). Cahaya biru mempunyai tenaga yang lebih daripada cahaya merah kerana jarak gelombang cahaya merah lebih besar. Hal ini terjadi kerana frekuensi berkadar songsang dengan jarak gelombang.\nEinstein berpegang teguh kepada hukum pengabadian tenaga bahawa tenaga tidak boleh dibinasakan atau dicipta dengan sewenang-wenangnya. Pelanggaran zarah foton dengan atom pada permukaan logam itu akan menyalurkan tenaga sepenuhnya kepada atom tersebut.\nSekiranya tenaga yang dibekalkan mencukupi untuk meleraikan atom daripada tarikan nukleus atom itu, maka elektron akan terhumban keluar daripada atom tersebut. Tenaga kinetik maksimum elektron adalah bersamaan yang tenaga yang tinggal apabila mempertimbangkan tenaga untuk meleraikan elektron.\nYang paling ajaib ialah buat pertama kalinya penjelasan secara kuantitatif itu sejajar dengan keputusan eksperimen. Kertas kerjanya dibentangkan dalam jurnal saintifik fizik yang unggul, iaitu Annalen der Physik pada tahun 1905.\nWalaupun kejayaan Einstein amat membanggakan tetapi beliau tidak menerima tawaran untuk menjadi tenaga pengajar dalam bidang fizik di universiti. Yang membingungkan ialah dunia nampak sepi, seolah-olah tidak mengendahkan pencapaiannya yang begitu memberangsangkan.\nEinstein tetap tidak berputus asa dan mengambil keputusan membuat kajian teori secara saintifik tentang gerakan Brown yang mencerminkan pergerakan rawak zarah yang sedang dikaji dalam cecair, sekaligus menguatkan lagi andaian kewujudan atom. Dengan menggunakan Teori Kinetik Gas dan berpandukan fizik statistik, Einstein mempersembahkan ideanya secara kuantitatif lalu memberikan peluang kepada ahli fizik untuk mengira bilangan atom dalam cecair melalui mikroskop dan mengukur diameter molekul cecair dengan terperinci.\nNamun begitu, sekali lagi dunia tidak mengucapkan tahniah kepada Einstein. Pada masa yang begitu mencabar, Einstein bertekad menghasilkan kajian teori fizik yang akan menggegarkan dunia fizik. Keyakinan yang begitu terserlah menjadikan Einstein sebagai salah satu saintis yang paling berwibawa dan terserlah dalam dunia fizik.\nEinstein meneruskan usahanya untuk diiktiraf sebagai ahli fizik teori yang disegani. Walaupun tidak diendahkan oleh pakar dalam dunia fizik, Einstein bertekad mencipta nama dengan cara tersendiri. Pekerjaannya sebagai kerani di pejabat paten banyak memberikannya masa lapang untuk menerokai keganjilan fenomena fizik dengan daya imaginasinya yang berpandukan eksperimen pemikiran (thought experiment). Begitu meluasnya daya imaginasi Einstein sehingga idea di luar jangkaan yang ditimbulkan menjadi titik tolak revolusi dunia fizik pada tahun 1905.\nTeori klasik gelombang menyatakan bahawa satu medium diperlukan untuk membolehkan gangguan yang dicetuskan pada satu tempat itu boleh disebarkan ke tempat lain. Oleh sebab itu, gelombang cahaya daripada matahari perlu melalui satu medium hipotesis yang dipanggil eter kerana para saintis beranggapan bahawa gelombang cahaya tidak berupaya bergerak dalam vakum. Yang menakjubkan ialah keputusan eksperimen interferometer Michelson-Morley menyangkal kehadiran eter pada 1887.\nJames Clerk Maxwell ialah ahli fizik pertama yang berjaya meleraikan kemelut dunia magnetik dan elektrik apabila beliau memperkenalkan empat persamaan yang menjelaskan sifat gelombang elektromagnetik tanpa sebarang kemusykilan. Empat persamaan itu berlandaskan keputusan eksperimen Michael Faraday yang tidak perlu dipertikaikan lagi oleh dunia fizik. Maxwell mengemukakan konsep medan elektromagnet buat pertama kalinya serta menetapkan hahaju cahaya sebagai 300 ribu km/s.\nPengaruh James Clerk Maxwell dan keputusan eksperimen Michelson-Morley terhadap hala tuju pemikiran Einstein menyakinkannya bahawa eter sebenarnya tidak wujud dan halaju cahaya adalah sentiasa tetap walaupun sumber cahaya itu mungkin bergerak. Oleh sebab itu, postulat kedua yang dikemukakan oleh Einstein ialah halaju cahaya dalam vakum adalah sentiasa tetap pada 300 ribu km/s.\nSelain itu, Einstein menekankan bahawa hukum fizik adalah sama dalam semua rangka rujukan inersia (inertial frame of reference), termasuk yang statik atau bergerak dengan halaju tetap. Ini merupakan postulat yang pertama.\nSebenarnya, idea rangka rujukan telah diperkenalkan oleh Galileo Galilei pada tahun 1632. Diandaikan bahawa terdapat dua pemerhati, yang pertama berada di atas kapal berdekatan dengan tiang kapal, manakala individu yang kedua berada di pelabuhan memerhatikan kapal itu belayar dengan halaju tetap.\nSekiranya seketul batu dibiarkan jatuh dari bahagian atas tiang kapal, maka pemerhati pertama akan mendapati batu itu akan jatuh terus ke lantai di bawah pengaruh graviti. Pemerhati kedua pula akan mendapati arah pergerakan batu itu semasa di udara sebelum mencecah lantai kapal yang akan mengikut satu laluan parabola. Keadaan ini ialah ciri keanehan yang berjaya ditimbulkan oleh Galileo walaupun pandangan kedua-dua pemerhati itu amat tepat. Pergerakan batu itu adalah relatif terhadap pemerhati.\nPemerhatian sebegitu sebenarnya tersemai di lubuk hati Einstein selama sedekad semenjak hari persekolahannya di Aarau sewaktu Einstein cuma berusia 16 tahun. Einstein pernah bertanya kawan baiknya, Michele Besso yang juga bekerja di pejabat paten Bern, apakah yang akan berlaku sekiranya batu itu ditukarkan kepada satu alur cahaya?\nSekiranya pendekatan yang sama diambil, maka sudah tentu pemerhati di pelabuhan akan mendapati alur cahaya itu akan begerak lebih daripada 300 ribu km/s. Hal ini dikatakan demikian kerana perjalanan dalam bentuk parabola adalah lebih jauh daripada perjalanan dalam satu garis lurus. Walau bagaimanapun. sejak 40 tahun lalu, James Clerk Maxwell melalui teori gelombang elektromagnet telah menghuraikan bahawa cahaya akan bergerak dengan halaju tetap, iaitu pada 300 ribu km/s.\nEinstein berpihak kepada James Clerk Maxwell. Namun begitu, untuk memastikan bahawa halaju cahaya sentiasa tetap, Einstein tidak mempunyai pilihan kecuali mengubah elemen masa, lalu bercanggahan dengan idea Newton yang dikemukakan dalam Principia pada tahun 1687. Idea Newton berpihak kepada elemen masa sebagai satu pemalar dan tidak boleh dipengaruhi oleh keadaan, sama ada pemerhati bergerak atau tidak. Einstein pula berpendapat bahawa elemen masa akan dipengaruhi oleh pergerakan pemerhati relatif antara satu sama lain.\nDengan berpandukan kedua-dua postulat. Einstein terus mengorak langkah mempersembahkan persamaan fizik yang membingungkan dunia sains. Berasaskan transformasi Lorentz, Einstein berupaya menunjukkan secara kuantitatif bahawa semua objek tidak boleh bergerak lebih cepat daripada halaju cahaya. Persamaan fizik itu juga menjangkakan jisim satu objek yang bergerak hampir dengan halaju cahaya akan bertambah dengan berlipat ganda sehingga berupaya menghampiri infiniti.\nSelain itu, gumpalan persamaan yang dipanggil Teori Kerelatifan Khas (Special Theory of Relativity) menunjukkan bahawa elemen masa boleh dipengaruhi oleh betapa cepatnya seseorang itu bergerak. Sekiranya seseorang itu berjaya menghampiri halaju cahaju, maka masa akan berjalan semakin lambat sehingga akan menjadi statik apabila halaju cahaya dicapai.\nPerkara ini adalah berbeza dengan idea Sir Isaac Newton yang menyatakan pergerakan masa tidak akan dipengaruhi oleh sebarang elemen luaran. Pergerakan masa adalah tetap dan tidak boleh dipercepatkan atau dilambatkan. Dalam sekelip mata, Einstein telah berjaya membenamkan idea masa yang dipelopori oleh Newton.\nSelain itu, Einstein menekankan halaju cahaya yang sentiasa tetap walaupun sumber sedang bergerak. Kita mengetahui bahawa sekiranya kita berlari dengan halaju 10 m/s di atas sebuah keretapi yang bergerak dengan halaju 90 m/s, maka halaju relatif terhadap individu yang sedang berada di stesen ialah 100 m/s. Sekiranya lampu kereta dipasang, maka cahaya lampu akan bergerak dengan halaju tetap 300 ribu km/s. Apabila kereta mula bergerak dengan halaju 100 m/s, apakah halaju cahaya akan bertambah?\nUntuk memastikan bahawa halaju cahaya sentiasa tetap mengikut postulat keduanya, maka semestinya masa atau jarak tersebut akan dipendekkan. Itulah keanehannya tetapi persamaan yang dibentangkan oleh Teori Kerelatifan Khas boleh menunjukkan secara kuantitatif jawapan yang dikehendaki.\nBelum sempat dunia fizik menyelami idea Einstein yang begitu menakjubkan, beliau kembali menggegarkan dunia fizik dengan memgemukakan idea bahawa jisim boleh diandaikan sebagai tenaga rehat (rest energy) lalu terus memperkenalkan persamaannya yang amat terkenal sehingga kini, iaitu E = . Persamaan yang terkenal ini bakal digunakan sebagai idea yang memberangsangkan untuk membina bom atomik semasa Perang Dunia Kedua, lebih kurang empat dekad selepas persamaan yang ajaib itu ditemukan.\nPada masa itu, Einstein telah menulis surat kepada Presiden Amerika Syarikat, Franklin Roosevelt setelah berhijrah ke Princeton untuk menyatakan kebimbangannya bahawa negara Jerman sedang cuba mencipta bom yang paling dahsyat di muka bumi, iaitu bom atom. Projek Manhattan, iaitu projek penyelidikan dan pembangunan bom atom dilancarkan oleh Amerika Syarikat sejurus selepas itu.\nKeempat-empat kertas kajian fizik itu diterbitkan dalam tempoh empat bulan dalam Annalen der Physik pada1905. Dalam sekelip mata, Einstein berjaya membenamkan idea ether dan menumpaskan idea bahawa masa adalah mutlak bersifat malar.\nIdea rangka rujukan Galileo Galileo dikemas kini untuk mempertimbangkan halaju cahaya yang tetap pada 300 ribu km/s. Idea kuantum Max Planck yang diperkenalkan pada tahun 1900, diangkat terus ke persada dunia untuk perdebatan lanjut memberikan nafas baharu terhadap idea kuantum yang sebelum ini disangkal hebat oleh dunia fizik.\nWajah fizik berubah sama sekali dan idea Einstein menjadi bahan perbualan dalam kalangan ahli fizik yang terkenal di negara Eropah. Keempat-empat kertas kerja fizik yang bersejarah itu dipanggil Annus mirabilis papers. Dalam bahasa Latin, Annus mirabilis membawa maksud tahun keajaiban." "Akademi DBP Beri Peluang kepada Khalayak Menguasai Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dalam usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk terus memartabatkan bahasa Melayu, Akademi DBP telah diamanahkan untuk mengembangkan bahasa Melayu dengan menawarkan kursus penataran bahasa pada peringkat serantau dan antarabangsa bagi membina dan memperkukuh kefahaman, sekali gus memperteguh sikap dan memupuk kecintaan warganya dan masyarakat awam terhadap bahasa, sastera dan penerbitan melalui pelbagai aktiviti latihan dan penataran pelbagai bidang.\nWalau bagaimanapun, masih banyak orang yang tidak mengetahui akan kewujudan akademi ini dan fungsinya. Oleh itu, Bernama Radio telah menjemput Ketua Akademi DBP, Dr. Haji Santrol Abdullah untuk berkongsi maklumat berkaitan dengan Akademi DBP menerusi slot Cakna Bahasa, kelolaan penyampainya, Nazira Noran.\nMenurut Dr. Haji Santrol Abdullah, Akademi DBP merupakan satu bahagian di DBP yang diwujudkan untuk merangka strategi dan kaedah pelaksanaan program pendidikan sepanjang hayat khususnya dalam pengajaran bahasa Melayu, sastera dan penerbitan.\nAkademi DBP mula beroperasi pada 4 November 2011 dan telah menyediakan pelbagai program latihan dan penataran dalam bidang bahasa, sastera dan penerbitan kepada kakitangan DBP, golongan profesional dan masyarakat awam.\nTambahnya lagi, selaras dengan dasar kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu, terdapat empat bentuk kursus yang ditawarkan oleh Akademi DBP, iaitu Kursus Individu (Berbayar), Kursus Berpakej, Kursus Bahasa Melayu untuk Penutur Asing dan Pusat Pembangunan Keilmuan dan Kemahiran Akademi DBP (bidang editorial).\nAntara kursus yang menjadi rebutan termasuklah kursus bahasa khususnya tentang Kursus Wacana Profesional Berimpak Tinggi seperti Kursus Penulisan Surat Rasmi, memo, kertas cadangan dan laporan, pengucapan awam, tatabahasa dan sebagainya.\n\nSelain itu, kursus penerbitan yang memfokuskan penerbitan berkualiti juga sering mendapat permohonan daripada khalayak umum. Antara kursus penerbitan yang ditawarkan termasuklah penyuntingan karya kreatif, pemantapan penulisan blurb dan resensi buku, pemantapan penyuntingan berketerampilan, penulisan buku teks dan lain-lain lagi.\nMenerusi perkongsiannya itu juga, kebanyakan kursus yang ditawarkan oleh Akademi DBP merupakan kursus jangka pendek yang dilaksanakan dalam jangka masa antara dua hari hingga tiga hari.\nAkademi DBP juga ada menyediakan Kursus Bahasa Melayu untuk Penutur Asing yang bukan sahaja untuk warga asing, bahkan untuk warganegara yang ingin mempelajari bahasa Melayu. Terdapat tiga peringkat bagi kursus ini, iaitu peringkat atas, tengah dan lanjutan.\nBeliau juga memaklumkan bahawa jumlah penyertaan bagi setiap kursus yang ditawarkan tidak melebihi 40 orang dalam usaha untuk memberikan keselesaan dan kefahaman kepada para peserta yang terlibat. Bagi mereka yang ingin mengetahui maklumat lanjut berkaitan dengan kursus yang ditawarkan bolehlah melayari laman Facebook DBP kerana Akademi DBP selalu mempromosikan kursus-kursus yang ditawarkan.\nTambah beliau, bahasa merupakan satu elemen penting dalam hidup seseorang. Walaupun bahasa Melayu merupakan bahasa utama penduduk negara ini, bahasa ini juga perlu dipelajari terutamanya yang berkaitan dengan komunikasi rasmi." "Pertubuhan Warga Emas Sihat Bersedia Bantu Penyelidikan Penuaan dan Kesejahteraan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pertubuhan Warga Emas Sihat bersedia menjadi rakan kerjasama yang penting kepada Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-Care), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam program penyelidikan translasi berkaitan dengan penuaan dan kesejahteraan.\nDekan FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar menyatakan bahawa pelibatan aktif ahli pertubuhan ini yang telah menjadi sebahagian daripada penyelidikan berkaitan dengan penuaan dan kesejahteraan telah memberikan kejayaan besar kepada pelajar.\nHal ini dibuktikan melalui pelajar seliaannya yang telah memperoleh anugerah tertinggi pada peringkat doktor falsafah, iaitu Anugerah Emas Kedoktoran semasa konvokesyen yang diadakan pada tahun 2021 yang lalu.\nPertubuhan yang dibentuk pada 24 November 2021 ini tercetus apabila kumpulan warga emas ini terlibat sebagai kumpulan perintis penyelidikan dalam Program Warga Emas Sihat pada tahun 2017 .\n\u201cKami amat menghargai usaha yang dilakukan oleh H-Care yang telah memberikan peluang kepada pertubuhan ini untuk terlibat dalam pelbagai program seperti Wellness Fiesta, sesi fisioterapi, Majlis Sambutan 10 Tahun H-Care dan Hari Warga Emas,\u201d kata Pengerusi Pertubuhan Warga Emas Sihat, Puan Maimun Ahmad dalam Mesyuarat Agung Tahunan Pelantikan Ahli Jawatankuasa Baharu Pertubuhan Warga Emas Sihat sesi 2023/2025.\n\u00a0\nMajlis ini dihadiri oleh 22 orang ahli Pertubuhan Warga Emas Sihat bagi menyokong pembentukan ahli jawatankuasa yang baharu." "UKM dan BGU Jalin Kerjasama Lahirkan Graduan Bertaraf Antarabangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Fakulti Sains Kesihatan dan Teknologi, Universiti Bunkyo Gakuin (BGU), Jepun telah menambah nilai kepada kedua-dua buah universiti ini dalam melahirkan graduan dan ilmuwan yang bertaraf antarabangsa.\nMajlis menandatangani MoU ini dijalankan secara dalam talian yang dipengerusikan oleh wakil dari BGU, Encik Kosuke Tanaka. MoU berkenaan ditandatangani oleh Dekan Fakulti Sains Kesihatan, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar dan Pensyarah Pusat Kajian Kesihatan Komuniti (ReaCh), FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Haliza Abdul Mutalib bersama-sama Presiden BGU, YBrs. Profesor Takashi Sakurai dan Dekan BGU, YBrs. Profesor Dr. Hitomi Kamisaku.\nMelalui jalinan kerjasama telah bermula sejak tahun 2014 ini, pelbagai program antarabangsa dapat dijalankan seperti program pertukaran pelajar, persidangan dan sesi perkongsian ilmu. Selain itu, MoU ini juga mampu menambah jaringan dalam pengembangan aktiviti penyelidikan dan inovasi.\n\u201cKami sangat teruja dan tidak sabar untuk mengenali budaya di negara ini selain menambah jaringan dalam penyelidikan,\u201d kata pensyarah dari BGU, YBrs. Profesor Madya Dr. Shobo yang mengiringi para pelajarnya ketika mengikuti program pertukaran pelajar ke Malaysia.\nSejak itu, program pertukaran pelajar, terutamanya dalam bidang fisioterapi dan terapi cara kerja telah dijalankan dengan giat bagi mendedahkan pelajar kepada budaya dan masyarakat di kedua-dua buah negara sekali gus dapat mempelajari ilmu bidang sains kesihatan dengan lebih mendalam.\n\u201cProgram pertukaran pelajar ini membolehkan para pelajar mengenali dan memahami budaya masyarakat di Malaysia serta dapat bertukar pendapat antara satu sama lain,\u201d ujar salah seorang pelajar dari BGU.\nPada tahun ini, sebanyak sembilan orang pelajar dan dua orang pensyarah dari BGU mengikuti program pertukaran pelajar ke FSK, UKM, manakala 19 orang pelajar dari UKM telah berjaya dihantar ke BGU bagi program yang sama.\nMelalui program ini juga, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan seperti lawatan ke beberapa buah pusat rehabilitasi di Malaysia serta menghadiri siri wacana ilmu." "AISB dan KAFSB Bekerjasama Perbanyak Produk Berasaskan Harum Manis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Athanliz Innovations Sdn. Bhd. (AISB), syarikat pemula (start-up) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis mencatatkan satu lagi kemajuan dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama-sama Kayangan Agro Farm Sdn. Bhd. (KAFSB) di Business Innovation and Technology Commercialization Centre (BITCOM), UiTM Shah Alam hari ini bagi memperbanyak penghasilan produk yang berasaskan buah mempelam harum manis di Perlis hingga peringkat global.\nPemeteraian MoU ini telah ditandatangani oleh Pengarah Urusan AISB, YBrs. Dr. Athifah Najwani Shahidan bersama-sama Presiden KAFSB, YBhg. Dato\u2019 Mohd Farid Mohd Yusuff dan disaksikan oleh wakil dari Malaysian Academy of SME and Entrepreneurship Development (MASMED), YBrs. Ts. Dr. Rohana Zur serta warga kerja BITCOM.\nPada masa yang sama, satu Surat Tunjuk Minat (LOI) dari AISB telah diserahkan kepada pihak MASMED atas tujuan kolaborasi dan pelaksanaan kerjasama strategik dalam projek inkubator keusahawanan pada peringkat universiti antarabangsa.\n\u201cSemoga dengan adanya MoU dan LOI ini dapat memberikan lebih banyak manfaat, terutamanya kepada para petani tanaman harum manis di Perlis serta syarikat pengeluar produk hiliran lain yang berkaitan. Inisiatif bagi mewujudkan inkubator keusahawanan pada peringkat universiti antarabangsa juga diharapkan dapat memberikan faedah kepada bidang keusahawanan yang diceburi oleh para pelajar dan ahli akademik,\u201d ujar YBrs. Dr. Athifah Najwani Shahidan ketika berucap dalam majlis berkenaan.\nSusulan itu, tetamu yang hadir dalam majlis tersebut berkesempatan untuk melihat produk terbaharu keluaran AISB yang berasaskan bahan sampingan hasil daripada buah dan pokok harum manis seperti kulit buah, biji dan daunnya.\nPasukan Makmal Pengkaji AISB juga sedang membuat penelitian rapi bagi menyasarkan tumbuhan harum manis ini boleh menjadi pokok serba guna hingga tiada lagi bahan buangan bagi memberikan manfaat kepada manusia sejagat.\nTurut hadir bagi memeriahkan majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif KAFSB, Encik Mohd Nasir Jamil dan Pengarah Urusan ZEM Holdings Sdn. Bhd. (ZHSB), Encik Mohamad Zulkurnain Abdul Rahman." "BSE Jenis H Tidak Sebar Penyakit kepada Manusia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Orang awam tidak perlu bimbang tentang pengambilan daging lembu atau produk lembu yang diimport dari luar negara susulan penularan penyakit Bovine spongiform encephalopathy (BSE) yang menyerang ternakan di Brazil pada awal tahun ini adalah dari jenis Atypical BSE jenis H yang berlaku secara semula jadi terhadap ternakan tua dan tidak menyebabkan penyakit kepada manusia.\nBerdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), penyakit BSE ialah penyakit kronik pada lembu yang mengambil masa selama bertahun-tahun untuk menunjukkan tanda penyakit berkenaan.\nBSE tergolong dalam kumpulan penyakit saraf yang membawa maut, dicirikan oleh pengumpulan protein yang tidak normal yang dipanggil sebagai prion di dalam tisu saraf dan otak serta pertama kalinya telah dikesan pada tahun 1986 di United Kingdom.\nSumber rebakan BSE pada lembu adalah berpunca daripada makanan yang telah dicemari oleh prion. Apabila makanan yang dicemari ini dimakan oleh haiwan selain lembu, maka munculnya kumpulan penyakit Transmissible spongiform encephalotpathies (TSE) seperti Varian creutzfeldt-jakob (vCJD) dalam kalangan manusia, Scrapie yang menyerang biri-biri dan kambing serta Chronic wasting disease (CWD) yang menyerang rusa.\nSementara itu, terdapat tiga jenis BSE, iaitu Classical BSE yang berlaku melalui penggunaan makanan atau produk makanan yang dicemari oleh prion; Atypical BSE jenis H yang berlaku secara semula jadi pada ternakan tua dan Atypical BSE jenis L yang turut berlaku secara semula jadi pada ternakan tua.\nHanya Classical BSE yang boleh menyebabkan penyakit vCJD kepada manusia yang memakan daging atau produk makanan yang tercemar dengan prion, manakala Atypical BSE jenis H dan Atypical BSE jenis L tidak menyebabkan sebarang penyakit kepada manusia.\nSusulan itu, bagi memastikan keperluan tempatan adalah bebas daripada sebarang penyakit dan selamat dimakan, DVS sentiasa memantau rapi bekalan daging lembu atau produk lembu yang diimport dari luar negara." "MPA Memperkukuh Agenda Membela Warga Emas melalui Bengkel Fisioterapi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bengkel Falls and Frailty anjuran Special Interest Group (SIG) Geriatrik, Persatuan Fisioterapi Malaysia (MPA) yang diadakan di Klinik Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selaras dengan saranan kerajaan dalam memperkukuh agenda membela warga emas bagi menghadapi cabaran negara tua telah mendapat sambutan yang menggalakkan.\nBengkel yang berlangsung selama tiga hari ini diadakan untuk meningkatkan kemahiran dalam aspek penilaian risiko jatuh dalam kalangan warga emas, memberikan pendedahan beberapa faktor dan risiko jatuh serta rawatan dan senaman yang berkesan bagi golongan pesakit yang berusia atau warga emas.\n\u201cBengkel ini dilaksanakan sebagai satu daripada usaha murni yang dilakukan oleh MPA untuk membawa nama ahli fisioterapi ke peringkat antarabangsa sekali gus melahirkan ahli fisioterapi yang berkualiti selari dengan keperluan pada masa ini,\u201d ujar Pengarah Bengkel Falls and Frailty, YBrs. Dr Azliyana Azizan ketika berucap dalam bengkel berkenaan.\nKemerosotan fungsi fizikal dan jatuh dalam kalangan warga emas menjadi satu masalah yang harus ditangani oleh semua pihak. Peranan ahli fisioterapi amat penting dalam mencegah, merawat dan memberikan nilai kesedaran berkaitan dengan cabaran yang dihadapi oleh golongan warga emas.\nSementara itu, Pengerusi Pusat Penuaan Sihat dan Kesejahteraan UKM, YBrs. Profesor Dr. Devinder Kaur Rajt Singh menyatakan bahawa bengkel yang diadakan ini dapat menarik minat golongan fisioterapi muda untuk mempelajari sesuatu yang baharu dan mempunyai kualiti maklumat yang baik agar dapat digunakan dalam perawatan terhadap pesakit warga emas.\nAhli fisioterapi dan akademik di King\u2019s College London, United Kingdom, YBrs. Dr. Julie Whitney,\u00a0merangkap penceramah bagi bengkel ini, mempunyai kepakaran dalam bidang geriatrik dan rehabilitasi.\nBengkel yang disertai oleh 32 orang ahli fisioterapi dari pelbagai institusi kerajaan dan swasta di seluruh Malaysia itu menerapkan nilai prinsip dan kajian dalam penilaian pesakit, punca warga emas jatuh, kerapuhan tulang (osteoporosis), penyakit kesihatan mental (demensia) serta praktikal dalam aspek senaman.\n\u201cSaya amat berpuas hati dengan ilmu berlandaskan kajian dan beberapa kelas praktikal yang dijalankan. Pelaksanaan aktiviti dalam bengkel ini dapat memberikan keyakinan kepada diri saya untuk merawat pesakit dengan sebaik-baiknya\u201d ujar salah seorang peserta dalam bengkel tersebut.\nSelain itu, penganjuran bengkel ini telah membuka mata masyarakat akan kekurangan pusat atau kelompok kesihatan, khususnya yang memberikan penekanan kepada warga emas. Peningkatan usia warga emas seharusnya diiringi dengan kualiti kehidupan yang baik.\n\u201cSaya baru sedar akan kepentingan aspek penilaian yang berkesan dalam memberikan teknik rawatan yang menyeluruh dan saya bercita-cita ingin membuka pusat rawatan fisioterapi, khususnya untuk kemudahan warga emas di Malaysia,\u201d kata seorang lagi peserta yang menyertai bengkel ini.\nBengkel ini telah berjaya mencapai objektifnya, terutamanya kepada semua ahli fisioterapi di Malaysia yang berminat dalam menceburi bidang penuaan sihat. Hal ini membuktikan bahawa penuaan sihat memainkan peranan yang sangat penting melalui kesedaran dan peningkatan ilmu pengetahuan." "Ahli Fisioterapi Tingkatkan Kemahiran dalam Bengkel Latihan PNF\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Bengkel Physiotherapeutic: Skills on Proprioceptive Neuromuscular Stimulation (PNF) anjuran Persatuan Fisioterapi Malaysia (MPA) mampu meningkatkan kemahiran asas dalam kalangan fisioterapi untuk menggunakan teknik PNF terhadap pesakit yang mengalami angin ahmar, kecederaan saraf tunjang, sakit belakang, bahu dan pelbagai jenis penyakit lain yang berkaitan.\nBengkel bertaraf antarabangsa yang diadakan di Hospital Rehab ReGen ini dikendalikan oleh pensyarah tersohor dari Australia, Fernanda Di Natal sebagai penceramah program dengan memberikan taklimat secara teori dan praktikal kepada para peserta.\nMenurut pengarah bengkel ini, Puan Tamilchelvi Muniandy dari MPA Neuro SIG, beliau bersyukur kerana ahli fisioterapi di Malaysia akhirnya dapat menimba ilmu daripada pensyarah tersohor mengenai kemahiran PNF.\nBeliau mengharapkan para peserta yang menyertai bengkel ini dapat meningkatkan ilmu dan kemahiran mereka dalam mengaplikasikan PNF semasa menjalankan tugas masing-masing.\n\u201cSelepas menyertai bengkel ini, pengetahuan dan kemahiran saya mengenai PNF semakin meningkat dan saya tidak sabar untuk mengaplikasikannya kepada pesakit saya. Terima kasih kerana menganjurkan bengkel yang sangat bermakna dan bermanfaat ini\u201d, kata salah seorang peserta yang menghadiri bengkel berkenaan.\nSebanyak 36 orang ahli fisioterapi dari pelbagai institusi kerajaan dan swasta di seluruh negara telah menyertai bengkel ini.\nUntuk maklumat lanjut berkenaan dengan bengkel atau kursus terkini anjuran MPA, sila layari Facebook rasmi MPA Neuro SIG." "MCMC Pantau Penyebaran Maklumat Tidak Sahih dan Berunsurkan 3R\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited\u00a0 membuat pemantauan secara berterusan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih dan kenyataan yang membabitkan unsur 3R, yakni elemen perkauman, agama dan institusi diraja.\nUsaha ini dilakukan susulan beberapa kejadian yang melibatkan unsur 3R yang berlaku sejak kebelakangan ini dikhuatiri boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian negara.\nKenyataan berbaur kebencian merujuk kata-kata ucapan ataupun gambar yang menuduh, merendahkan nilai seseorang atas faktor perkauman, etnik, agama ataupun kewarganegaraan adalah antara elemen yang perlu dibendung segera.\n\u201cOrang ramai diingatkan agar tidak memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan ataupun pandangan berbaur kebencian yang membabitkan elemen 3R berkenaan dalam media sosial atau aplikasi pemesejan,\u201d kata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, YBhg. Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dalam satu kenyataan.\nTindakan penguatkuasaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diambil terhadap individu yang terlibat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada bagi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat.\nPerkongsian kandungan yang bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM50 000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.\nPada masa yang sama, pentadbir portal berita dalam talian, media sosial dan aplikasi pemesejan digesa untuk menguruskan komen daripada warga siber dalam platform mereka. Selain itu, penyedia platform media sosial juga diminta untuk lebih bertanggungjawab dalam menurunkan kandungan yang berbaur provokatif dan berbahaya.\nOrang ramai yang menjumpai kandungan berbaur perkauman, hasutan, provokasi, menghina agama dan Institusi Diraja perlu melaporkan kejadian tersebut kepada MCMC melalui portal Aduan MCMC,\u00a0menerusi talian 1800-188-030 atau WhatsApp di 016-2206 262 ataupun e-mel kepada [email\u00a0protected]. Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau melaporkan berita palsu di laman sesawang SEBENARNYA.MY." "Memorandum Persefahaman Dimeterai Bagi Kerjasama Penyelidikan Buah Mangga\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nChennai \u2013 Athanliz Innovations Sdn. Bhd. (AISB) dari UiTM Cawangan Perlis kini terbang pula ke Chennai, India bagi memeterai satu lagi memorandum persefahaman (MOU) dengan Dhaanish Ahmed College Engineering (DACE), Chennai, India.\nMemorandum persefahaman tersebut telah ditandatangani oleh Pengarah Urusan AISB, Dr. Athifah Najwani bersama-sama Setiausaha DACE, Encik M. Kadar Shah dan disaksikan oleh Ketua Penyelidik, Dr. Bogeshwaran Karunanithi bagi projek kerjasama penyelidikan buah mangga di kedua-dua buah negara, iaitu Malaysia dan India.\nMenurut\u00a0Dr. Athifah Najwani semasa menyampaikan ucapan dalam sidang pembentangan kertas kerja dalam majlis tersebut, kerjasama bagi kajian saintifik ini dapat diharapkan dapat dilanjutkan lagi kerana pihak pengkaji daripada Jabatan Makmal AISB telah mendapati bahawa buah mempelam harum manis ini mempunyai unsur perubatan, vitamin dan makanan tambahan.\nSementara itu, menurut Dr. Bogeshwaran Karunanithi, DACE menyambut baik langkah kerjasama erat ini kerana India mempunyai lambakan buah mangga yg hanya digunakan sebagai sumber makanan dan tidak diinovasikan kepada produk komersial yang lain seperti yang dilakukan oleh penyelidik dari UiTM.\nOleh sebab itu, kolaborasi dua hala ini penting kepada kedua-dua kumpulan penyelidik untuk terus membongkar pelbagai manfaat yang terdapat dalam buah mangga, terutamanya pada bahagian kulit, biji dan daun.\nKerjasama antara kedua-dua negara ini diharapkan dapat memperkembangkan lagi industri pertanian di Perlis dan memberikan sinar kepada para petani yang mengusahakan mangga harum manis." "Empat Perancangan Strategik Sektor Angkasa Direncana \u2013 MOSTI\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah merencanakan empat perancangan strategik sektor angkasa ke arah pertumbuhan industri sejajar dengan pelaksanaan Dasar Angkasa Negara (DAN) 2030.\nPerancangan yang dibuat dikoordinasikan menerusi Jawatankuasa Angkasa Kebangsaan (JANGKA) dengan pelibatan kementerian dan agensi berkaitan dasar tersebut.\n\u201cObjektif utama JANGKA ialah memastikan pembangunan sektor angkasa dapat dilaksanakan secara terancang dan lebih berkesan sekali gus memberikan pulangan besar kepada negara dalam aspek penjanaan ilmu baharu, penerokaan saintifik, penjanaan kekayaan, kesejahteraan masyarakat dan keselamatan serta kedaulatan negara,\u201d kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Chang Lih Kang dalam satu kenyataan.\nEmpat perancangan strategik sektor angkasa yang direncanakan ialah Pelan Tindakan\u00a0 Dasar Angkasa Negara 2030: Malaysia Space Exploration 2030 (MSE 2030), Pelan Strategik Industri Angkasa 2030, Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834) dan pelibatan MOSTI melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dalam Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA\u201923) sebagai peneraju Space Tech Nexus.\nMenurut beliau, MSE 2030 menggariskan 15 strategi, 27 inisiatif dan 79 aktiviti utama yang dirancang hingga tahun 2030 dan bakal dilancarkan semasa LIMA\u201923. Beliau turut menyatakan bahawa MSE 2030 dapat dimanfaatkan sebagai sumber ekonomi baharu negara dan dijangkakan mampu menyumbang hingga satu peratus atau RM10 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara menjelang tahun 2030.\nPelan Strategik Industri Angkasa 2030 pula merupakan hasil kajian industri angkasa tempatan yang telah selesai dilaksanakan pada Ogos 2022, yakni sebanyak 63 syarikat tempatan telah dikenal pasti terlibat dalam pembangunan industri angkasa tempatan dan dijangkakan akan dilancarkan semasa pameran LIMA\u201923.\nJelas beliau lagi, Pelan Strategik Industri Angkasa 2030 telah dibangunkan dengan 12 strategi dan 24 inisiatif termasuklah cadangan pelancaran satelit penderiaan jauh (remote sensing) negara beresolusi tinggi pada penghujung tahun 2025 dan kerangka inisiatif mewujudkan perkhidmatan tapak pelancar satelit tempatan.\nPada masa yang sama, Akta 834 yang telah diwartakan pada 25 Januari 2022 pula bertujuan mengawal selia aktiviti berkaitan dengan angkasa bagi tujuan keselamatan dan pendaftaran objek angkasa.\nAkta ini akan memastikan aktiviti angkasa negara dilaksanakan secara bertanggungjawab dan selamat serta mematuhi peraturan dan piawaian yang dipersetujui pada peringkat antarabangsa serta dapat meningkatkan keyakinan pelabur dan industri untuk terlibat dalam aktiviti angkasa negara melalui pewujudan kawal selia yang cekap selaras dengan garis panduan dan standard antarabangsa.\nKatanya, Space Tech Nexus merupakan elemen baharu dalam penganjuran pameran dwitahunan tersebut yang akan berlangsung dari 23 Mei 2023 hingga 27 Mei 2023 merangkumi Langkawi International Space Forum (LISF) 2023, pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU), perbincangan dua hala (bilateral talk), pameran komersial, pengemaskinian teknologi (technology updates), side events dan lawatan teknikal.\nMOSTI melalui MYSA yang diberikan mandat sebagai peneraju Space Tech Nexus oleh Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kementerian Pengangkutan Malaysia selaku penganjur LIMA\u201923 dijangkakan dapat mengukuhkan lagi jaringan kerjasama strategik sektor angkasa di negara ini dengan pelbagai pihak, khususnya dalam aspek pembangunan kapasiti, kepakaran, peluang kerjasama teknikal dan komersial serta memudah cara pelaburan industri angkasa bagi merancakkan pertumbuhan industri pemula tempatan." "Penerokaan Gua Kajang dan Gua Asar Pupuk Kesedaran Pelajar tentang Alam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLenggong \u2013 Sebanyak lebih 40 orang mahasiswa dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) telah meneroka Gua Kajang dan Gua Asar di Lembah Lenggong, Perak sebagai satu daripada usaha untuk memupuk kesedaran akan kejadian alam, baru-baru ini.\nLenggong yang telah diwartakan sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 30 Jun 2012 sememangnya kaya dengan gua yang unik, menakjubkan dan satu daripada keajaiban ciptaan Ilahi yang perlu dipelihara serta dipulihara untuk tatapan generasi akan datang.\nAntara gua yang terkenal di Lenggong ialah Gua Teluk Kelawar, Gua Kajang, Gua Harimau, Gua Gunung Runtuh, Gua Ngaum, Gua Asar, Gua Puteri dan Gua Badak.\nMenurut pegawai pengiring merangkap pensyarah yang mengajar, Puan Tuan Siti Mastazameatun, program seumpama ini adalah penting untuk membuka mata mahasiswa akan kesedaran dalam memelihara dan memulihara peradaban, warisan dan alam semula jadi.\n\u201cEksplorasi di Gua Kajang telah membuka mata dan minda para pelajar dari KIAS yang sedang mengikuti Kursus Penghayatan Etika dan Peradaban untuk mengenali peradaban terawal bangsa sendiri,\u201d ujar beliau.\nPeninggalan sejarah era paleolitik dan neolitik yang terpelihara ini pada hakikatnya mendidik jiwa generasi pelapis negara untuk lebih mencintai sejarah demi perkembangan peradaban bangsa pada masa hadapan.\nSejarah juga pernah tercipta apabila sekumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Arkeologi, Universiti Sains Malaysia yang diketuai oleh YBhg. Profesor Datuk Dr. Zuraina Majid telah menemukan rangka manusia yang diberikan nama sebagai Perak Man dijumpai hasil daripada ekskavasi di Gua Gunung Runtuh pada tahun 1991 sekali gus membuktikan kewujudan tamadun awal manusia di Asia Tenggara.\nKawasan Lembah Lenggong ialah urutan garis budaya antara yang terpanjang dari segi masa, iaitu hampir dua juta tahun dan bahan artifak peninggalan sejarah yang dijumpai di sini, terutamanya di gua dan kawasan terbuka berada berdekatan antara satu sama lain serta menjadi bukti kukuh ketamaduan terdahulu yang berlaku sejak sekian lama.\nHasil kajian yang dijalankan membuktikan bahawa Gua Kajang telah dihuni sejak lebih 11 ribu tahun dahulu dan pernah menjadi tempat penghunian masyarakat pada era paleolitik dan neolitik.\nGua Kajang berada pada latitud 50 07.57\u2019 utara dan longitud 1000 58.87\u2019 timur berada pada ketinggian 76 meter dari aras laut, manakala lokasinya pula berada pada jarak 1.5 kilometer dari jalan utama yang membolehkan pengunjung berpeluang untuk melihat keunikan seni bina rumah Melayu yang masih kekal hingga kini.\nSementara itu, Encik Azizul Rahman yang turut mengiringi eksplorasi ini menyatakan bahawa Gua Kajang adalah antara gua pertama diekskavasi di Malaysia, iaitu sekitar tahun 1917 dan artifak berharga yang ditemukan ialah rangka manusia di bahagian pintu gua selain alat batu dan pecahan tembikar.\nDalam eksplorasi ini juga, pelajar berpeluang untuk meneroka keindahan Gua Asar yang berada tidak jauh dari Gua Kajang." "Perihal Kata Nama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata nama ialah kata yang dapat menjadi inti frasa nama yang bersifat endosentrik. Biasanya kata nama merupakan nama bagi sesuatu objek, orang, tempat, konsep, peristiwa atau perkara. Oleh itu, kata seperti semut, tsunami, kerusi, oksigen, psikologi, cengal, merbuk, dan sebagainya merupakan kata nama.\nDari segi kedudukan dalam ayat, taburan kata nama cukup luas, iaitu dapat menjadi subjek, objek, pelengkap, penerang, predikat, unsur sendi nama, penjodoh bilangan, dan sebagainya, bergantung pada konteks penggunaannya dalam ayat.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\nDalam ayat 1, kata nama Aminah menjadi subjek ayat, manakala kata nama guru menjadi predikat ayat. Dalam ayat 2, kata nama baju ialah objek kepada kata kerja transitif melipat. Dalam ayat 3, kata nama guru ialah pelengkap kepada kata kerja tak transitif menjadi. Dalam ayat 4, kata nama teks ialah penerang kepada inti frasa nama buku. Dalam ayat 5, kata kampung ialah satu daripada unsur dalam frasa sendi nama di kampung. Dalam ayat 6, kata nama sikat ialah penjodoh bilangan.\nKewujudan kata nama meliputi kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk dan kata ganda. Sebagai contoh, kata nama meja berbentuk tunggal, kata nama pekebun, pertapa, perjalanan, pembasmian, dan kerajaan berbentuk kata terbitan, dan kata nama kuih-muih, kanak-kanak, dan gunung-ganang berbentuk kata ganda.\nSelain kata nama yang biasa kita gunakan dalam pertuturan dan penulisan, terdapat sejumlah kata lain yang dapat menjadi atau berfungsi seperti kata nama melalui mekanisme tertentu.\nKata pembenda \u2013nya dapat menjadikan kata adjektif atau kata kerja sebagai kata nama. Sila lihat contoh yang berikut:\nDalam ayat 7, penambahan kata pembenda \u2013nya menjadikan kata kerja berlaku sebagai kata nama. Kata kerja dengan pembenda itu menjadi inti frasa nama subjek berlakunya kejadian itu. Dalam ayat 8, penambahan pembenda \u2013nya menjadikan kata adjektif cantik sebagai kata nama. Kata adjektif dengan pembenda itu menjadi inti frasa nama subjek cantiknya gadis itu. Dalam ayat 9 pula, penambahan kata pembenda \u2013nya menjadikan kata adjektif lambat sebagai kata nama untuk didahului kata sendi nama dengan, dan membentuk frasa sendi nama dengan lambatnya.\nKata sandang si dapat juga dapat menjadikan kata adjektif atau kata kerja sebagai kata nama. Kata yang terhasil merupakan gelaran atau rujukan kepada orang yang ada sifat yang terkandung dalam adjektif yang berkenaan atau mengalami kejadian yang berkaitan. Sila lihat contoh yang berikut:\nDalam ayat 10, kata adjektif bakhil menjadi kata nama gelaran selepas didahului kata sandang si. Dalam ayat 11, kata kerja mati menjadi kata nama gelaran selepas didahului oleh kata sandang si. Hal ini terbukti kerana si bakhil dan si mati dapat menjadi subjek ayat.\nKata adjektif dan kata kerja juga dapat menjadi kata nama melalui proses pengimbuhan. Sila lihat contoh yang berikut:\nDalam ayat 12, kata kerja lari menjadi kata nama terbitan pelari selepas ditambah awalan pe-. Dalam ayat 13, kata adjektif pandai dan bangga menjadi kata nama terbitan kepandaian dan kebanggaan selepas ditambah apitan ke-.-an.\nTerdapat sesetengah kata yang menjadi kata nama melalui proses penggandaan. Sila lihat contoh yang berikut:\n14a.\u00a0 Bilakah dia datang?\n14b.\u00a0 Sampai bila-bila pun dia tidak akan sedar.\nDalam ayat 14b, kata tanya bila telah menjadi kata ganti nama tak tentu bila-bila melalui proses penggandaan. Maksudnya ialah \u201csebarang masa\u201d.\nAda kalanya kata kerja menjadi kata ganda semu yang berkaitan dengan maksud kata kerja yang berkenaan. Sila lihat contoh yang berikut:\n15a.\u00a0 Cahaya lampu berkelip-kelip.\n15b.\u00a0 Kelip-kelip berterbangan pada malam itu.\n15c.\u00a0 Kelip-kelip pada bajunya menarik perhatian.\nKata kerja berkelip-kelip bererti \u201cberkedip-kedip\u201d, \u201cseketika terang seketika padam\u201d atau \u201cbergemerlapan\u201d. Hal ini berkaitan dengan serangga kelip-kelip yang cahayanya berkedip-kedip atau hiasan kelip-kelip yang berkilauan apabila terkena cahaya.\nAda kata kerja yang dapat berfungsi sebagai kata nama dalam kedudukan tertentu dalam ayat. Sila lihat contoh yang berikut:\nDalam ayat 16, kata kerja berenang berfungsi seperti frasa nama subjek. Hal ini dikatakan demikian kerana kata kerja berenang sebenarnya didahului oleh kata nama kegiatan atau aktiviti yang telah digugurkan. Dalam ayat 17, frasa kerja jatuh bangun dapat menjadi objek kepada kata kerja transitif merasai kerana kata kejadian atau peristiwa yang mendahului frasa kerja tersebut telah digugurkan.\nKata adjektif atau kata kerja dapat juga berfungsi sebagai frasa nama jika didahului oleh kata hubung relatif yang. Sila lihat contoh yang berikut:\n18a.\u00a0 Makanan yang sedap menjadi pilihannya.\n18b.\u00a0 Yang sedap menjadi pilihannya.\n19a.\u00a0\u00a0 Murid yang bergaduh telah dikenakan tindakan disiplin.\n19b.\u00a0\u00a0 Yang bergaduh telah dikenakan tindakan disiplin.\nDalam ayat 18b, kata adjektif sedap berfungsi sebagai frasa nama dengan adanya kata hubung relatif yang. Dalam hal ini, inti frasa nama makanan telah digugurkan. Dalam ayat 19b pula, kata kerja bergaduh berfungsi sebagai frasa nama dengan adanya kata hubung relatif yang. Dalam hal ini, inti frasa nama murid telah digugurkan." "Keterlihatan Kenderaan Berat Mengurangkan Risiko Kemalangan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKenderaan berat ialah kenderaan dengan berat melebihi 4500 kilogram seperti bas, trak dan treler. Kenderaan jenis ini sering digunakan untuk mengangkut barang dan penumpang dalam jarak jauh. Kenderaan berat biasanya mempunyai enjin yang lebih berkuasa yang membolehkannya membawa beban yang lebih berat berbanding dengan jenis kenderaan lain.\nProduk atau penumpang boleh dihantar dengan kos yang jauh lebih rendah dan efisien apabila menggunakan kenderaan berat berbanding dengan jika diangkut dengan cara lain seperti kereta api atau pengangkutan udara. Kenderaan berat boleh memberikan kesan terhadap jalan raya dan penggunanya.\nNamun begitu, walaupun kenderaan berat memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sesebuah negara, kenderaan ini juga memberikan cabaran yang unik dalam industri pengangkutan.\nDari segi keselamatan, antara kebimbangan yang melibatkan kenderaan berat termasuklah kecenderungannya untuk merempuh kenderaan lain atau pejalan kaki. Hal ini dikatakan demikian kerana kenderaan berat tentulah jauh lebih besar berbanding dengan kebanyakan kenderaan lain di jalan raya.\nBagi mengelakkan kemalangan yang disebabkan oleh kenderaan berat, pelbagai pendekatan telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa seperti pemantauan yang sewajarnya terhadap had laju kenderaan pengguna kenderaan berat di lebuh raya serta hukuman berat dikenakan kepada pesalah yang melanggar peraturan had kelajuan kenderaan ini.\nWalau bagaimanapun, sejauh manakah inisiatif ini dapat mengurangkan kadar kemalangan yang melibatkan kenderaan berat, terutamanya kemalangan maut membabitkan kenderaan yang lebih kecil atau pejalan kaki?\nPerlanggaran antara kenderaan berat seperti treler dengan kenderaan yang lebih kecil seperti kereta selalunya akan berakhir dengan kecederaan parah atau lebih teruk lagi menyebabkan kematian terhadap penumpang kenderaan kecil berikutan pemindahan jumlah tenaga kinetik yang lebih besar.\nSebagai contohnya, masyarakat pernah dikejutkan dengan berita yang amat menyayat hati, yakni seorang ibu dan lapan orang anaknya berserta seorang pemandu kereta lain maut dalam kemalangan yang melibatkan sebuah treler dan tiga buah kereta di kawasan rehat USJ, Lebuh Raya Utara-Selatan pada tengah malam. Dalam kebanyakan kes, kemalangan ini mungkin berpunca daripada kenderaan berat yang tidak dapat dilihat oleh pemandu yang datang dari pelbagai arah, terutamanya pada waktu malam atau ketika cuaca buruk.\nKajian di Amerika Syarikat dan Eropah menunjukkan bahawa kadar kemalangan yang melibatkan kenderaan berat dapat dikurangkan dengan pemasangan pita pantul songsang dan penanda lain yang menggariskan kontur atau saiz kenderaan berat.\nPentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuhraya Kebangsaan Amerika Syarikat\u00a0 melaporkan bahawa dalam keadaan kekurangan cahaya, hentaman pada sisi dan belakang treler dapat dikurangkan antara 29 peratus hingga 41 peratus apabila pita pantul songsang dipasang.\nDalam keadaan gelap pula, pita pantul songsang ini mampu mengurangkan hentaman pada sisi dan belakang treler yang mengakibatkan penurunan kadar kematian atau kecederaan kepada pemandu mana-mana kenderaan sebanyak 44 peratus.\nDengan adanya pita pantul songsang pada kenderaan, selain memudahkan pemandu lain untuk melihat kenderaan berat tersebut, alat ini juga meningkatkan keterlihatan semasa cuaca kabus dan pada waktu malam apabila lampu jalan tidak berfungsi dengan baik disebabkan oleh gangguan atau kerja penyelenggaraan yang dilakukan oleh syarikat utiliti.\nSelain itu, kajian menunjukkan bahawa pemasangan pita pantul songsang pada kenderaan berat boleh meningkatkan jarak penglihatan pemandu hingga 600 meter. Peningkatan keterlihatan ini mampu memberikan masa yang mencukupi kepada pemandu kenderaan lain untuk bertindak balas dan mengelakkan perlanggaran.\nPita pantul songsang berfungsi dengan memantulkan cahaya dari lampu hadapan kenderaan yang menghampiri dan menjadikan kenderaan tersebut lebih ketara dilihat oleh pemandu lain.\nDi Malaysia, semua kenderaan berat dengan berat maksimum sebanyak 3500 kilogram dan ke atas wajib dipasangkan pita pantul songsang di bahagian belakang. Pada Julai 2019, undang-undang telah mewajibkan kenderaan berat dipasang dengan penandaan sisi dan kontur penandaan mestilah daripada bahan yang mampu memantulkan cahaya serta boleh menjamin penglihatan yang lebih baik, terutamanya pada waktu malam dan ketika cuaca buruk.\nPada masa yang sama, bas juga perlu dilengkapi dengan penanda pantulan belakang. Namun begitu, banyak kenderaan berat yang masih gagal mematuhi peraturan ini ketika berada di jalan raya.\nSecara umumnya, risiko kemalangan antara kenderaan berat seperti treler dengan kereta adalah 30 kali ganda lebih tinggi apabila kenderaan berat ini tidak mempunyai tanda penglihatan. Kenderaan berat dengan penanda pemantulan garis besar dapat dikesan lebih awal berbanding dengan kenderaan berat yang tidak bertanda.\nTindakan ini secara tidak langsung membantu pengguna jalan raya yang lain untuk menentukan saiz kenderaan tersebut serta memberikan lebih banyak masa kepada pemandu untuk bergerak dengan lebih selamat dalam aliran lalu lintas. Pengguna jalan raya lain juga dapat melihat kenderaan berat yang pegun di tempat gelap, ketika membelok atau melintas jalan semasa cuaca buruk ataupun cahaya malap.\nWalaupun pita pantul songsang boleh didapati dalam pelbagai pilihan, warna merah dan putih adalah yang paling banyak digunakan. Warna merah biasanya digunakan kerana mudah dilihat dalam keadaan cahaya malap, manakala putih digunakan sebagai warna kontras untuk meningkatkan keterlihatan pita.\nPita pantul songsang diperbuat daripada bahan khas yang memantulkan cahaya dan merupakan penyelesaian dengan kos yang efektif untuk meningkatkan keterlihatan kenderaan berat kerana alat ini tahan lasak jika terdedah kepada cuaca di Malaysia.\nPenandaan kontur pada kenderaan berat dilakukan dengan menggariskan bentuk kenderaan menggunakan pita pantul songsang. Kontur penuh pada kenderaan berat menyebabkan persepsi visual menjadi lebih mudah.\nTerdapat tiga jenis penandaan kontur yang diterima pakai, iaitu penandaan kontur penuh, kontur separa dan penandaan jalur. Penggunaan kontur penuh adalah sangat disyorkan. Pita pemantulan ini dipasang berhampiran dengan tepi kenderaan untuk membentuk garisan berterusan yang menggambarkan saiz kenderaan tersebut. Kedudukan ini memberikan keterlihatan maksimum kepada pengguna jalan raya lain dan kaedah ini juga mestilah dipilih jika terdapat grafik pantul songsang di sisi kenderaan.\nSementara itu, kontur separa melibatkan satu jalur pita pantul songsang digunakan di sepanjang setiap sisi dan belakang badan kenderaan berat dengan bahagian bentuk \u201cL\u201d dengan kepanjangan sebanyak 0.5 meter di setiap sudut atas.\nUntuk penandaan jalur pula, satu jalur pita pantul songsang digunakan di sepanjang setiap sisi kenderaan, bahagian badan dan bahagian belakang kenderaan berat. Susun atur asas ini hanya boleh digunakan untuk kenderaan yang tidak menggunakan grafik pantul songsang atau mempunyai struktur terhad.\nSejak sekian lama, kenderaan berat seperti trak, treler dan bas menjadi nadi dalam industri pengangkutan. Kenderaan ini digunakan untuk mengangkut barangan dan penumpang dari satu tempat ke tempat lain agar perjalanan dan urusan kehidupan menjadi lebih mudah. Walau bagaimanapun, kenderaan berat tersebut boleh menimbulkan risiko keselamatan yang besar di jalan raya, terutamanya dalam keadaan cahaya malap.\nUntuk mengurangkan risiko ini, adalah penting untuk meningkatkan keterlihatan kenderaan berat dan di situlah pita pantul songsang memainkan peranannya. Oleh itu, syarikat dan pemilik kenderaan berat berperanan besar dalam memastikan keselamatan pemandu, pengguna jalan raya lain dan kenderaan milik mereka.\nNamun begitu, masih banyak syarikat dan pemilik kenderaan berat yang masih tidak cakna terhadap faedah dan penggunaan pita pantul songsang ini. Kekurangan kesedaran akan hal ini telah mengakibatkan langkah keselamatan di jalan raya semakin diabaikan, seterusnya menjadi risiko kepada pemandu, penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.\nSebagai kesimpulannya, penggunaan pita pantul songsang ini diharapkan dapat dikuatkuasakan secara menyeluruh, bukan sahaja terhadap kenderaan berat komersial seperti trak dan treler, malah meliputi kenderaan lain seperti bas, kenderaan kecemasan dan tren bagi mengurangkan risiko kemalangan di jalan raya.\nProfesor Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff ialah Pensyarah Kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). \nDr. Suzielah Rahmad ialah siswazah doktor falsafah di UKM. \nProfesor Madya Ir. Dr. Sri Atmaja P. Rosyidi ialah Pensyarah Kanan di Universitas Muhammadiyah Yogyakarta, Indonesia." "Pengabaian Ubat Rencatkan Rawatan Tuberkulosis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pematuhan terhadap pengambilan dos ubat tuberkulosis dan tidak menghentikan rawatan penyakit ini tanpa saranan daripada doktor adalah penting bagi mengelakkan sebarang kesan sampingan atau merencatkan rawatan penyakit berkenaan.\nPenyakit tuberkulosis atau penyakit tibi ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis dan dikategorikan sebagai penyakit endemik yang sentiasa wujud dalam kalangan masyarakat.\nPenyakit yang disebarkan melalui batuk dan bersin daripada seseorang yang menghidap penyakit ini boleh menjangkiti pelbagai organ, terutamanya paru-paru.\n\u201cSelaras dengan hasrat negara untuk mencapai status negara bebas tibi menjelang tahun 2035, saringan tibi telah dipertingkatkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, terutamanya bagi golongan yang berisiko tinggi seperti pesakit kencing manis, penghuni institusi tahanan serta kontak rapat dengan indeks kes tibi,\u201d kata Pegawai Farmasi, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Teng Sook Yee menerusi rancangan Jendela Fikir anjuran Bernama Radio, semalam.\nAntara tanda penyakit tibi ialah batuk berdarah, batuk yang berpanjangan melebihi tempoh dua minggu, kurang selera makan, berat badan berkurangan, demam, sesak nafas dan berpeluh, terutamanya pada waktu malam.\nBeliau juga menjelaskan bahawa pemeriksaan penyakit tersebut boleh dilakukan melalui beberapa cara seperti ujian sampel kahak, ujian tuberkulin atau X-ray pada bahagian dada bagi membolehkan doktor mengesan perubahan yang berlaku pada paru-paru, sekali gus mendiagnosis penyakit tersebut dengan gejala lain.\nRawatan penyakit tibi terdiri daripada dua fasa, iaitu fasa intensif untuk tempoh dua bulan dan fasa sambungan bagi tempoh empat bulan.\nRawatan bagi fasa intensif melibatkan penggunaan empat jenis ubat, iaitu Isoniazid, Rifampicin, Pyrazinamide dan Ethambutol, manakala fasa sambungan menggunakan dua jenis ubat antitibi, iaitu Rifampicin dan Isoniazid.\nJelas beliau lagi, jika pesakit mematuhi cara pengambilan ubat yang betul dalam tempoh rawatan yang ditetapkan, iaitu selama enam bulan, biasanya pesakit akan sembuh daripada jangkitan tibi.\nKegagalan dalam rawatan tibi akan menyebabkan kerintangan bakteria tibi tersebut kepada pelbagai ubat rawatan tibi yang diberikan sekali gus mengakibatkan multidrug-resistant tuberculosis ataupun extensively drug-resistant tuberculosis yang menyukarkan proses penyembuhan pesakit.\nSusulan itu, sekiranya kesan sampingan seperti muntah, loya, ruam atau kegatalan menyukarkan pesakit untuk meneruskan rawatan, pesakit boleh berbincang dengan doktor atau ahli farmasi terlebih dahulu bagi menyusun semula waktu pengambilan ubat.\nBerilah sokongan kepada pesakit tibi kerana mereka memerlukan sokongan yang padu untuk menghabiskan ubat secara konsisten dan jika mereka berjaya menghabiskan rawatan tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, mereka boleh sembuh dan kembali sihat seperti biasa sekali gus masyarakat dapat menghentikan stigma negatif terhadap pesakit tibi." "Peratusan Kes Demam Denggi Rendah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebanyak 0.05 peratus penurunan kes demam denggi berlaku pada Minggu Epidemiologi ke-11 tahun 2023, iaitu jumlah kes demam denggi yang direkodkan adalah sebanyak 2151 kes berbanding dengan 2152 kes pada minggu sebelumnya serta tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada minggu ini.\nHingga kini, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 23 753 kes berbanding dengan 7364 kes untuk tempoh yang sama bagi tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 16 389 kes (222.6 peratus), manakala sebanyak 16 kematian akibat demam denggi dilaporkan berbanding dengan tiga kematian untuk tempoh yang sama, iaitu berlaku peningkatan sebanyak 13 kematian (433.3 peratus).\n\u201cJumlah lokaliti kawasan panas (hotspot) denggi adalah sama seperti minggu sebelumnya, iaitu sebanyak 91 lokaliti dengan 54 lokaliti di Selangor, 16 lokaliti di Pulau Pinang, 11 lokaliti\u00a0 di Sabah, lima lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, tiga lokaliti di Perak dan masing-masing satu lokaliti di Kedah dan Negeri Sembilan,\u201d kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Seri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan.\nSementara itu, jumlah kumulatif kes Chikungunya hingga kini adalah sebanyak 106 kes. termasuklah lima kes survelen Chikungunya dari Johor dan dua kes survelen Chikungunya dari Selangor yang direkodkan pada minggu ini.\nSeterusnya, bagi survelan zika pula, sebanyak 539 sampel darah dan empat sampel urin saringan zika telah dijalankan dan hasilnya menunjukkan negatif bagi kesemua sampel berkenaan.\n\u201cBilangan pengunjung ke tempat tumpuan awam seperti bazar Ramadan dan premis perniagaan yang biasanya dikunjungi pada lewat petang bersempena dengan bulan Ramadan pastinya akan meningkat, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko gigitan nyamuk aedes,\u201d ujar YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Seri Dr. Noor Hisham Abdullah.\nPengunjung digalakkan untuk menggunakan bahan repelan nyamuk pada kulit dan anggota badan yang terdedah bagi mencegah gigitan nyamuk, menjaga kebersihan persekitaran serta melupuskan semua bekas yang berpotensi menyebabkan pembiakan nyamuk seperti tempurung, kulit kelapa, bekas makanan dan minuman di tempat pelupusan yang disediakan." "Pelaksanaan Inventori Sumber Hutan sebagai Usaha Pemeliharaan Hutan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kerajaan sedang melakukan Inventori Sumber Hutan Nasional Keenam bagi Semenanjung Malaysia yang dilaksanakan setiap 10 tahun, manakala pelaksanaan inventori sumber hutan ini adalah pertama kalinya dilaksanakan bagi wilayah Sabah dan Sarawak sebagai usaha berterusan dalam memastikan khazanah hutan negara dapat diuruskan secara mampan.\nKesedaran masyarakat tentang kepentingan hutan yang menjadi aset semula jadi negara, pemeliharaan dan pemuliharaannya perlu dipertingkatkan demi kesejahteraan masyarakat dan kestabilan alam sekitar.\nHutan berperanan dalam menyediakan habitat, makanan, perlindungan, sumber bekalan air dan udara yang bersih untuk manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan serta membantu mengekalkan khazanah biodiversiti dan mengurangkan kesan perubahan iklim melalui penyimpanan karbon.\n\u201cTema Hari Hutan Antarabangsa pada tahun ini ialah \u201cHutan dan Kesihatan\u201d yang mendorong masyarakat untuk menyemai dan meningkatkan kesedaran bagi memelihara dan memulihara kawasan hutan berikutan kawasan ini banyak menerima ancaman seperti krisis melalui kebakaran hutan, serangan makhluk perosak dan pencerobohan yang berleluasa,\u201d kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan.\nPengiktirafan kepentingan hutan untuk keselamatan dan keterjaminan makanan juga telah meningkat dengan ketara beberapa tahun kebelakangan ini.\nMenurut beliau, hutan dan kesihatan manusia, haiwan serta alam sekitar adalah saling berhubung kait antara satu sama lain menyebabkan pendekatan secara holistik perlu diambil dalam pelibatan manusia dengan alam semula jadi untuk mencapai kesihatan yang optimum antara manusia, haiwan, hutan dengan alam sekitar.\n\u201cBagi mengelakkan kemunculan penyakit berjangkit baharu yang biasanya disebabkan oleh perubahan guna tanah secara tidak mampan dan akibat perubahan iklim, usaha memulihara dan menggunakan hutan secara mampan ialah satu daripada cara yang terbaik untuk melindungi alam semula jadi dan diri sendiri sekali gus dapat menjamin kesejahteraan masyarakat,\u201d kata beliau lagi.\nUsaha dan program utama yang telah dianjurkan, misalnya Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok, Program Restorasi, Tebus Guna dan Pemulihan Kawasan Hutan Terosot, Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara, Central Forest Spine dan Heart of Borneo akan terus diberikan tumpuan oleh Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama Kerajaan Negeri bagi memelihara dan memulihara khazanah hutan ini.\nBeliau turut menegaskan bahawa rakyat Malaysia seharusnya sentiasa berusaha untuk mengekalkan bumi dengan kehijauan kawasan berhutan yang kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna demi kesejahteraan hidup generasi pada masa ini dan akan datang." "Bengkel Penulisan Buku Multidisiplin Sasar Penerbitan Tiga Buku Tahun Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas (ICaRehab), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus mengorak langkah dengan penganjuran Bengkel Penulisan Buku Multidisiplin bagi menghasilkan kandungan terbaik dalam setiap buku yang dihasilkan.\nBengkel ini telah dirasmikan oleh Dekan FSK, UKM, Profesor Dr. Suzanna Shahar yang diiringi oleh Ketua Pusat Pengajian ICaRehab, Profesor Madya Dr. Azlin Nordin.\n\u2018Saya sangat teruja dengan penganjuran bengkel seperti ini kerana usaha ini sangat dekat dengan hati saya. Saya menyokong penuh aktiviti ilmiah seumpama ini kerana dapat memberikan motivasi dan menggalakkan peserta untuk menerbitkan hasil kajian ilmiah,\u201c ujar Profesor Dr. Suzanna Shahar ketika merasmikan bengkel ini.\nBengkel ini telah berlangsung selama dua hari dengan berbagai-bagai pengisian termasuklah ceramah mengenai kaedah menerbitkan buku dari penulis buku tersohor, iaitu Dr. Anuar Ithnin dari FSK, UKM.\nDr. Anuar Ithnin ialah penulis yang giat menerbitkan buku bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka.\nMelalui bengkel ini, FSK, UKM mensasarkan penerbitan sekurang-kurangnya tiga buah buku yang bukan sahaja dapat memberikan manfaat kepada graduan dan ahli akademik, malah kepada golongan masyarakat.\n\u00a0\nBengkel ini dihadiri oleh seramai 35 ahli akademik dan pegawai yang terdiri dari pelbagai bidang seperti Fisioterapi, Terapi Cara Kerja, Dietetik, Sains Pertuturan, Audiologi, Optometri dan Psikologi Kesihatan." "Membina Daya Tahan Masyarakat Untuk Hidup Bersama Banjir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKetidaktentuan kejadian banjir yang berlaku kebelakangan ini menuntut masyarakat untuk mempersiapkan diri menghadapi bencana banjir yang akan berlaku pada masa hadapan. Situasi ini turut menggambarkan keperluan mendesak masyarakat itu sendiri untuk mengambil tindakan berani dan transformatif untuk mengurangkan impak kejadian banjir, sekali gus membina daya tahan mereka dalam menghadapi situasi banjir.\nKejadian banjir yang melanda bukan sahaja mendatangkan kerosakan harta benda dan nyawa, malah menyebabkan beberapa rumah hanyut dibawa arus. Hujan yang mencurah dengan luar biasa di sesuatu tempat kini mungkin akan menjadi fenomena biasa saban tahun. Kawasan yang dahulunya tidak pernah banjir kini juga terdedah kepada risiko banjir.\nBagi kawasan pembandaran, kejadian banjir kilat mungkin mengakibatkan impak yang lebih besar dan mencetuskan situasi yang agak huru-hara disebabkan kenaikan air di kawasan perniagaan, perumahan dan perindustrian yang berkepadatan tinggi. Namun begitu, bagi kawasan luar bandar atau bandar kecil yang terjejas dengan banjir, suasana dilihat lebih bersedia dan tenang ketika musibah banjir berlaku.\nKeadaan ini mungkin disebabkan oleh kejadian banjir tersebut yang memang sudah dijangka akan berlaku pada setiap tahun lalu menyebabkan masyarakat lebih berdaya tahan dalam menghadapinya. Keadaan yang tidak menentu berikutan kesan perubahan iklim memerlukan tahap kesiapsiagaan dan daya tahan masyarakat lebih tinggi terhadap kejadian banjir.\nKonsep \u201chidup bersama banjir\u201d sepatutnya sudah menjadi sebahagian daripada mantera dalam pemikiran masyarakat yang sering terkesan dengan kejadian banjir. Selain strategi kawalan banjir, masyarakat di luar bandar yang kebiasaannya mempunyai halaman rumah boleh melaksanakan strategi meminimumkan impak banjir dengan langkah hidup bersama banjir. Menerusi pendekatan ini, banjir \u201cdibenarkan\u201d dalam keadaan tertentu pada sesuatu tempat dan pada masa sama, impak buruk banjir seperti kerosakan diminimumkan dengan tahap kesiapsiagaan lebih baik.\nAntara pengurangan impak banjir termasuklah dengan membina rumah yang tinggi. Bahagian bawah rumah pula diminimumkan penggunaannya bagi membenarkan air membanjiri tanpa merosakkan harta benda.\nSaya teringat akan sebuah organisasi kerajaan negeri yang menggunakan rumah kuarters banglo yang diubah suai sebagai pejabat. Rumah kuarters banglo tersebut mempunyai bahagian bawah rumah yang lebih rendah jika dibandingkan dengan bahagian atas rumah. Hanya bahagian atas rumah dijadikan pejabat dan bahagian bawah rumah dibiarkan kosong tanpa diubah suai.\nPejabat organisasi kerajaan negeri tersebut terletak di sebelah sungai. Pernah berlaku situasi hujan mencurah dengan agak luar biasa di kawasan tersebut sehingga paras air sungai meningkat naik lalu berlakunya banjir. Air sungai telah melimpah memasuki bahagian bawah pejabat tersebut hingga paras lutut. Oleh sebab bahagian bawah pejabat tersebut kosong, tiada sebarang kerosakan yang berlaku.\nSelain itu, konsep rumah terapung juga boleh dilaksanakan dengan rumah diletakkan di atas tapak yang diperbuat daripada struktur pontun terapung. Amerika Syarikat, Jepun dan Belanda memperkenalkan rumah amfibia yang boleh bergerak naik hingga lima meter ketika banjir dan turun semula apabila air surut.\nRumah itu dipasang dalam dok dengan empat tiang yang menghalang rumah tersebut daripada terapung bersama-sama banjir. Tindakan tersebut juga memastikan rumah tersebut hanya bergerak ke atas dan ke bawah.\nBaru-baru ini, seorang penduduk di Kampung Tebak, Kemaman, Terengganu telah melaksanakan inovasi terhadap rumahnya dengan menggunakan 69 tong plastik yang berfungsi sebagai pelampung bagi memastikan rumahnya terapung dan tidak ditenggelami air ketika banjir. Menariknya, rumah tersebut boleh terapung pada ketinggian lima meter.\nSelain itu, sebuah firma pembinaan Jepun yang sememangnya sudah terkenal dengan idea rumah amfibia ini menggunakan istilah rumah kalis banjir yang ditawarkan kepada sesiapa yang berminat. Rumah ini sama seperti rumah amfibia.\nRumah ini dilengkapi dengan empat sistem pertahanan banjir. Pertama, semua lubang pengudaraan bahagian lantai ditutup apabila air mula naik sebelum memasuki ruang rumah. Kedua, injap yang menghalang air memasuki rumah menerusi paip kumbahan tandas, dapur dan bilik mandi hanya membenarkan air mengalir dengan sehala dan apabila banjir berlaku, injap ini akan ditutup secara automatik.\nKetiga, rumah ini menggunakan kaca, sama ada di pintu atau tingkap yang mempunyai binaan berlapis bagi menahan tekanan air yang tinggi. Peringkat pertahanan yang keempat pula melibatkan rumah yang akan diikat dengan empat batang besi tebal yang ditanam dalam tanah yang berperanan seperti sauh untuk mengelakkan rumah ini dihanyutkan dari tapak.\nApabila banjir, rumah ini akan bergerak ke atas mengikut ketinggian paras air. Semua sistem elektrik, saluran air bersih, kumbahan dan penyaman udara juga diletakkan pada kedudukan yang lebih tinggi dan dicantumkan terus kepada rumah supaya tidak terkesan atau rosak ketika banjir.\nDengan dasar Malaysia yang masih memandang ke Timur, teknologi ini mungkin boleh digunakan untuk orang ramai yang tinggal di tempat yang berisiko dengan kejadian banjir. Sebelum ini, sudah ada cadangan untuk membina rumah mangsa kejadian banjir yang mudah terjejas, namun hal tersebut perlu mengambil kira semua aspek secara menyeluruh.\nSaya melihat konsep rumah kalis banjir ini boleh diadaptasikan di negara ini memandangkan Malaysia mengalami taburan hujan yang tinggi di beberapa negeri pada setiap hujung tahun. Usaha ini juga mampu mengurangkan perbelanjaan besar akibat pelbagai kerosakan yang disebabkan oleh banjir.\nWalau bagaimanapun, pembinaan rumah amfibia atau rumah kalis air memerlukan kos yang tinggi. Oleh hal yang demikian, kerajaan boleh menyediakan peruntukkan khas, terutamanya kepada mereka yang kerap berdepan dengan situasi ini.\nSelain itu, pengaliran dan pelencongan air limpahan banjir ke tempat kurang berisiko seperti padang permainan, kawasan lapang, kurang kepadatan, tanah terbiar dan tidak berpenduduk boleh juga diusahakan. Sekiranya saliran perparitan dan sungai sudah tidak mencukupi, tempat kurang berisiko ini boleh dibanjiri dahulu dengan kawalan keselamatan yang lebih baik, sementara menunggu air surut.\nBegitu juga dengan tempat pertanian dan perladangan yang berisiko mengalami banjir. Pengaliran dan pelencongan air limpahan banjir dari tempat tanaman dapat mengelakkan tanaman daripada rosak dan mengalami kerugian yang besar.\nDi samping itu, rumah rakit juga boleh dihasilkan sebagai satu daripada inisiatif apabila berlakunya kejadian banjir. Sebagai contohnya, penduduk di Kampung Batu Kapur, Temerloh, Pahang menghasilkan rumah rakit bagi menempatkan barang berharga sekiranya berlaku\u2002banjir\u00a0besar. Tindakan ini merupakan langkah yang baik memandangkan penduduk di sana berkemungkinan sudah lali dengan banjir yang berlaku pada setiap tahun.\nKejadian banjir sudah semakin pasti menjadi acara tahunan di beberapa tempat. Curahan hujan yang sangat banyak di Johor baru-baru ini ialah contoh fenomena agak luar biasa yang semakin kerap berlaku.\nDi samping usaha kerajaan melaksanakan projek tebatan banjir yang lebih mapan dan efektif, masyarakat yang saban tahun terkesan kini semakin bijak dan lebih bersiap siaga dalam menghadapi banjir. Usaha bersepadu semua pihak boleh ditingkatkan lagi dalam pelaksanaan strategi hidup bersama banjir agar impak banjir tidak terlalu dirasai dari segi material dan emosi.\nMasyarakat juga perlu berani mengambil langkah dengan lebih agresif. Gaya hidup masyarakat juga harus berubah selari dengan impak yang dihasilkan akibat perubahan iklim. Ketidaktentuan kejadian banjir yang berlaku sejak sedekad lalu amat membimbangkan dan menagih penyelesaian tuntas, terutamanya daripada masyarakat yang terkesan itu sendiri.\nSeluruh dunia kini berdepan situasi cuaca melampau yang tidak dijangka. Kebimbangan yang timbul tentang keperluan masyarakat yang selalu terkesan dengan banjir adalah dengan memberikan fokus terhadap langkah adaptasi, pembinaan daya ketahanan terhadap perubahan iklim dan peningkatan usaha siap siaga untuk menghadapi kejadian banjir.\nYang lebih penting, masyarakat perlu peka dan cakna dengan sebarang maklumat berkaitan status banjir di tempat terjejas untuk bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Pastinya kelesuan dan kepenatan serta trauma dialami menjadi pengalaman sukar dilupakan. Oleh sebab itu, daya tahan masyarakat amat penting bagi memastikan semua mangsa banjir terus cekal dan tabah dengan ujian menimpa." "Mengenal Pasti Kandungan Logam Berat di Kawasan Sawah Padi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPenanaman padi merupakan satu daripada aktiviti pertanian yang penting di dunia. Padi yang diproses untuk mendapatkan beras merupakan satu daripada produk tanaman yang mustahak dari segi jumlah pengeluaran di negara membangun di samping menyediakan hampir 30 peratus sumber tenaga untuk manusia.\nBeras berkeupayaan untuk tumbuh mengikut jenis tanah dan keadaan cuaca yang berbeza. Pada kebiasaannya, beras akan ditanam di kawasan bersederhana lembap. Padi yang ditanam di Malaysia terbahagi kepada dua jenis, iaitu padi sawah atau lebih dikenali sebagai padi bendang dan padi huma yang juga dipanggil padi bukit.\nPadi sawah ialah padi yang ditanam di sawah padi yang bertakung dengan air pada peringkat pertumbuhannya, manakala padi huma ialah padi yang ditanam di kawasan kering dan memerlukan air hujan sebagai bekalannya. Padi huma ini ditanam di kawasan tanah tinggi atau tanah rendah bergantung pada air hujan.\nDi Malaysia, jenis padi yang paling banyak ditanam ialah padi sawah kerana padi jenis ini membuahkan hasil yang agak tinggi. Hal ini dikatakan demikian kerana cara penanamannya adalah teratur di samping menggunakan air dan baja yang banyak.\nAntara negeri yang menjalankan aktiviti penanaman padi sawah termasuklah Kedah, Perlis, Perak, Selangor, Terengganu dan Kelantan. Bagi mempercepatkan tumbesaran serta memastikan kualiti beras yang dihasilkan berkualiti, petani cenderung menggunakan pelbagai baja dan racun perosak untuk membunuh organisma perosak.\nSistem pengairan di kawasan tanaman padi lebih terdedah kepada pencemaran akibat aktiviti di sekitar sungai atau mana-mana sumber air. Bahan pencemar yang terdapat di dalam air sungai seperti logam berat cenderung untuk terkumpul di dalam tanah sawah padi, seterusnya diserap oleh padi dan akhirnya dipindahkan kepada manusia secara langsung.\nLogam berat ialah unsur semula jadi yang berasal daripada kerak bumi, iaitu yang tidak boleh terurai, berketumpatan tinggi secara relatif dan mempunyai sifat yang toksik walaupun pada kepekatan yang rendah. Logam berat ini boleh wujud secara semula jadi atau antropogenik.\nSumber semula jadi biasanya terdapat di dalam tanah dan sedimen seperti hakisan batu-batuan. Sumber antropogenik pula diperoleh melalui pengairan kumbahan, penggunaan baja dan lain-lain. Antara logam berat yang biasa dijumpai dalam sampel beras termasuklah merkuri (Hg), kadmium (Cd), arsenik (As), plumbum (Pb) dan kromium (Cr).\nProses biokimia dan fisiologi di dalam badan manusia memerlukan logam berat seperti ferum (Fe), kuprum (Cu) dan zink (Zn) sebagai sumber nutrien. Logam berat yang biasanya dipilih untuk menjalani proses penilaian risiko ialah logam berat As, Cd dan Pb kerana mencatatkan keracunan yang tinggi dalam semua sampel beras.\nLogam berat amat berpotensi untuk terkumpul dan dipindahkan di semua peringkat rantaian makanan yang boleh memberikan risiko kepada manusia dan haiwan. Bioakumulasi ialah pengumpulan bahan kimia dalam tisu organisma dan hal ini terjadi apabila sesuatu bahan pencemar tidak boleh dimetabolismekan.\nLogam yang terkumpul di dalam badan manusia melalui rantaian makanan boleh menyebabkan pelbagai penyakit dan memberikan kesan kepada sistem saraf pusat. Hal ini berlaku apabila terjadinya proses biomagnifikasi sekiranya organisma pada aras atas trofik mengambil sumber makanan tercemar, iaitu beras.\nBiokonsentrasi pula merujuk nisbah kandungan logam berat dalam tumbuhan dan di dalam tanah. Risiko logam berat kepada kesihatan manusia melalui rantaian makanan dapat dihitung menggunakan faktor biokonsentrasi (BCF).\nMenurut Alam et al. (2003), jika nilai BCF adalah kurang daripada satu, hal tersebut bermaksud logam berat hanya boleh diserap oleh tumbuh-tumbuhan dan tidak boleh terkumpul. Sementara itu, jika nilai BCF adalah lebih daripada satu, tumbuh-tumbuhan tersebut berpotensi untuk mengumpul logam berat.\nSekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia telah melakukan satu kajian untuk melihat nilai biokonsentrasi dan faktor biokonsentrasi logam berat di kawasan sawah padi di Sawah Sempadan, Selangor. Sebanyak 26 titik persampelan terlibat dalam kajian ini.\nHasil kajian tersebut mendapati bahawa logam berat As, Cd dan Pb yang dikaji dalam sampel tanah berada pada paras yang dibenarkan menurut The United States Department of Agriculture (USDA) 2000, iaitu sebanyak 0.1555 miligram per kilogram (mg/kg), 0.0086 mg/kg dan 0.8715 mg/kg.\nBagi hasil kajian terhadap logam berat dalam sampel beras, kesemua logam berat juga berada pada paras yang dibenarkan mengikut garis panduan dalam Peraturan-Peraturan Makanan Malaysia 1985, iaitu sebanyak 0.3639 mg/kg, 0.0106 mg/kg dan 0.1155 mg/kg.\nSementara itu, untuk nilai BCF, masing-masing sebanyak 2.3402, 1.2326 dan 0.1325 bagi As, Cd dan Pb. Nilai BCF yang melebihi 1.00 menunjukkan bahawa terdapat potensi berlakunya proses pengumpulan logam berat dalam sampel beras, manakala nilai BCF kurang daripada 1.00 menunjukkan berlakunya penyerapan logam tanpa pengumpulan logam tersebut. Secara keseluruhannya, hasil kajian mendapati bahawa terdapat kehadiran logam berat dalam sampel tanah dan beras di Sawah Sempadan, Selangor.\nUntuk sampel tanah, paras maksimum kepekatan logam berat di dalam tanah yang ditetapkan oleh USDA 2000 digunakan sebagai julat piawai dalam kajian ini. Sampel tanah menunjukkan kepekatan logam berat As, Cd dan Pb masih di bawah kepekatan maksimum dan berada pada paras yang dibenarkan.\nKehadiran Pb dalam sampel tanah sawah padi berpunca daripada penggunaan baja dan racun perosak selain terhasil secara semula jadi. Kedua-dua faktor ini menyumbang kepada nilai kepekatan logam berat yang paling tinggi berbanding dengan As dan Cd.\nBagi sampel beras yang telah dikaji, Jadual Keempat belas (Peraturan 38) dalam Peraturan-Peraturan Makanan Malaysia 1985, iaitu Kadar Maksimum yang Dibenarkan bagi Cemaran Logam dalam Makanan Tertentu menjadi rujukan sebagai julat piawai. Kepekatan logam berat As mencatatkan nilai yang paling tinggi berbanding dengan Pb dan Cd.\nHal ini berlaku kerana As yang berasal dari tanah dan udara terkumpul di dalam beras. Penggunaan racun perosak untuk mengawal serangga perosak ialah racun yang mengandungi bahan kimia yang berbahaya, termasuklah logam berat seperti As. Hal ini menjadi satu daripada punca berlakunya pencemaran terhadap logam berat di kawasan sawah padi.\nSelain itu, nilai BCF juga telah digunakan untuk menentukan sama ada sesuatu tumbuhan itu boleh menyerap dan mengumpulkan logam berat atau menyerap tetapi tidak boleh mengumpulkan logam berat yang hadir.\nBCF ialah nisbah kepekatan logam berat di dalam beras berbanding dengan di dalam tanah. Hasil kajian ini mendapati nilai BCF bagi logam berat As dan Cd ialah kurang daripada satu yang menunjukkan tumbuhan ini boleh menyerap dan mengumpulkan logam berat. Sementara itu, Pb yang mempunyai nilai BCF kurang daripada satu menandakan bahawa terdapat penyerapan logam berat, namun tidak berlakunya proses pengumpulan logam itu.\nSebagai kesimpulannya, walaupun kandungan logam As, Cd dan Pb tidak melebihi nilai piawai yang telah ditetapkan, seharusnya beras yang dihasilkan adalah bebas daripada kesemua logam berat. Hal ini penting bagi golongan kanak-kanak dan warga emas yang lebih sensitif terhadap kehadiran logam berat dalam makanan yang diambil sehari-hari.\nOleh hal yang demikian, Jabatan Pertanian haruslah menggalakkan petani menggunakan racun perosak dan baja organik yang lebih selamat dalam penanaman padi di seluruh negara, termasuklah di Sawah Sempadan, Selangor.\nProfesor Madya Dr. Normah Awang dan Dr. Nurul Farahana Kamaludin, Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Kampus Kuala Lumpur." "Program Masakan Sihat Tarik Minat Murid SK Jalan Enam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Sebanyak 36 orang murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Enam, Bandar Baru Bangi, Selangor telah menyertai Program Memasak Makanan Sihat anjuran Program Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kursi Kelestarian UKM-YSD serta Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, UKM\nProgram ini diadakan bagi memupuk minat dan amalan memakan makanan sihat, terutamanya sayur-sayuran dalam kalangan kanak-kanak.\nProgram tersebut juga menjadi satu daripada aktiviti dalam minggu pertama persekolahan untuk menimbulkan rasa keseronokan kembali ke sekolah selain mengajar murid cara penyediaan makanan sihat dengan betul.\nGuru Besar SK Jalan Enam, Encik Azril Sham Mohamed menyatakan bahawa aktiviti memasak makanan sihat itu sangat sesuai diadakan untuk memupuk amalan pemakanan sihat dan semangat bekerja dalam kumpulan.\nPerkara ini selari dengan konsep transformasi pendidikan kebangsaan yang tidak menumpukan kepada aktiviti pembelajaran aktif semata-mata.\nSementara itu, Profesor Madya Dr. Zahara Abdul Manaf, pensyarah dan pakar diet yang mengetuai program ini berkata, \u201cKami sangat teruja kerana semua murid yang terlibat dalam program ini sangat suka akan makanan yang disediakan oleh mereka sendiri, malah ada juga yang meminta untuk membawa pulang sayur-sayuran bagi membolehkan ibu bapa mereka menanam atau memasak sayur-sayuran berkenaan.\nPada masa yang sama, penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, UKM, Puan Farah Hanan yang turut terlibat dalam program ini berpandangan bahawa tidak sukar untuk mendorong kanak-kanak memakan sayur-sayuran dengan adanya aktiviti seumpama ini.\nSelain aktiviti memasak makanan sihat, murid juga menjalankan pelbagai aktiviti seperti menanam sayur-sayuran, menuai hasil tanaman, membuat beg daripada kertas terpakai dan mengikuti permainan papan Wira Galaksi yang diinovasikan oleh penyelidik UKM yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Zahara Abdul Manaf.\nSebagai rekod, Program Masakan Sihat\u00a0 ini merupakan sebahagian daripada program Ekspedisi Wira Galaksi dan Taman Lestari Cilik yang telah dimulakan sebelum cuti sekolah." "Bengkel Penyelia Klinikal Meningkatkan Kualiti Penyeliaan Terapi Pertuturan dan Bahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Bengkel Penyelia Klinikal yang dianjurkan oleh Program Sains Pertuturan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diadakan melalui aplikasi Zoom, semalam untuk mengukuhkan pengetahuan penyelia terhadap kurikulum praktikum klinikal di samping menyelaraskan jangkaan mereka terhadap tahap keupayaan pelajar berdasarkan tahap pengajian masing-masing.\nDalam ucapan alu-aluan oleh Ketua Program Sains Pertuturan, UKM, Dr. Chu Shin Ying, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas pelibatan penyelia klinikal dalam bengkel ini.\nKita hendak memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran bakal terapi pertuturan dan bahasa di Malaysia terus terjamin.\nSementara itu, penyelaras kursus latihan industri dan klinikal, Dr. Fatimah Hani berharap agar bengkel ini dapat mewujudkan modul yang boleh diguna pakai oleh penyelia klinikal pada masa hadapan bagi membantu proses penyeliaan terhadap pelajar.\nBengkel ini melibatkan pengenalan kurikulum praktikum dan perbincangan dua hala antara pihak Program Sains Pertuturan, UKM dengan penyelia klinikal.\n\u00a0\n\u201cMelalui bengkel ini, kita boleh menggalakkan pelajar untuk menulis jangkaan matlamat pembelajaran mereka yang realistik pada awal semester untuk membantu pembelajaran pelajar di samping belajar mengikut rentak mereka sendiri,\u201d kata Puan Looi Wei Li, terapi pertuturan dan bahasa.\nSelain itu, terapi pertuturan bahasa yang telah menjadi penyelia klinikal lebih 10 tahun di Kementerian Kesihatan Malaysia, Puan Puspa Maniam memaklumkan bahawa pelajar perlu mengambil langkah proaktif dengan melibatkan diri secara sukarela, terutamanya dalam sesi bersama-sama pesakit sebelum klinik bermula bagi membantu sesi pembelajaran.\nSebanyak 21 orang terapi pertuturan dan bahasa yang merangkumi sektor kerajaan dan swasta\u00a0daripada pelbagai industri\u00a0telah menyertai bengkel ini." "Menyingkap Teori antara Latihan Kardio Puasa dengan Penurunan Berat Badan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJika kita pernah bangun seawal pukul 5.00 pagi untuk berjoging dan tidak mengambil makanan seperti pisang, epal, bar tenaga atau apa-apa makanan lain sebelum melakukan senaman, maka kita telah melakukan latihan kardio puasa atau fasted cardio (FC).\nAnda mungkin pernah mendengar bahawa sesetengah orang mengaitkan FC dengan penurunan berat badan dengan lebih cepat. Jika kita melakukan carian di Internet, hasil carian teratas yang muncul tentang FC berkemungkinan akan memberikan mesej yang FC bermanfaat untuk membakar lemak. Sementara itu, hasil carian yang lain akan memberitahu anda bahawa faedah FC ialah mitos.\nJadi, yang manakah yang kita patut percaya? Perlukah kita makan sebelum bersenam?\nDefinisi FC\nFC merujuk seseorang itu melakukan senaman semasa perut kosong atau dikenali sebagai keadaan berpuasa. Situasi ini biasanya berlaku pada waktu pagi sebelum pengambilan sarapan. Keadaan berpuasa ialah keadaan yang merujuk seseorang itu telah mencerna dan menyerap makanan terakhir sepenuhnya dan tahap insulin berada pada paras yang rendah.\nSecara umumnya, keadaan tersebut berlaku antara tempoh tiga jam hingga empat jam selepas makan. Dalam kebanyakan kajian, FC dilakukan pada waktu pagi sebelum sarapan pada hari itu, yakni kebanyakan daripada kita tidak makan antara tempoh lapan jam hingga 12 jam pada malam sebelumnya.\nSecara teorinya, bersenam dengan perut kosong atau selepas tempoh berpuasa yang berpanjangan boleh menyebabkan kehilangan lemak dengan lebih cepat. Walaupun terdapat beberapa saintis sukan yang percaya kepada teori ini, namun isu ini masih menjadi topik yang hangat diperkatakan dalam dunia sains sukan dan kecergasan.\nJika kita bersenam dalam keadaan berpuasa, hal ini bermakna hati dan tisu otot telah kehabisan glikogen. Glikogen ialah bentuk simpanan glukosa yang disimpan di dalam hati dan otot untuk digunakan sebagai tenaga.\nWalaupun keberkesanan teori FC masih dipertikaikan, akhirnya keputusan sama ada untuk bersenam semasa perut kosong atau tidak terpulang kepada diri sendiri. Jika kita memilih untuk mempercayai dan menerima teori FC, terdapat beberapa kekurangan yang perlu diperhatikan.\nCara Melakukan FC\nKebanyakan orang melakukan FC pada waktu pagi, yakni sebelum bersarapan. Namun begitu, keadaan berpuasa juga boleh mencapai hingga lewat pagi. Misalnya, anda berpuasa sekejap atau tidak makan pada waktu tengah hari.\nJika kita merasakan bahawa FC bersesuaian dengan kita, cara yang paling mudah untuk mencuba kaedah ubu adalah dengan melakukan senaman aerobik pada waktu pagi selepas bangun daripada tidur dan sebelum mengambil sarapan. Mulakan dengan senaman berintensiti rendah selama 30 minit hingga 45 minit pada setiap sesi.\nSebagai contohnya, jika kita selalunya makan snek ringan dan kemudiannya berlari sejauh lima kilometer, cuba lakukan FC dengan berjoging selama 20 minit hingga 30 minit tanpa mengambil snek ringan tersebut. Rasakan perubahan dan tindak balas balas terhadap senaman dalam keadaan FC sebelum melakukan senaman yang berintensiti lebih tinggi.\nSelepas senaman, kita juga disarankan untuk mengambil makanan yang seimbang, iaitu mengandungi protein dan karbohidrat dalam masa sejam atau lebih selepas sesi senaman.\nTerdapat dua jenis FC. Jenis yang pertama ialah apabila hati kekurangan glikogen, namun simpanan glikogen dalam otot masih mencukupi. Perkara ini boleh dicapai dengan makan pada waktu malam dengan lebih awal dan bersenam pada keesokan harinya sebelum sarapan pagi. FC jenis ini lebih cenderung dilakukan oleh atlet amatur.\nJenis yang kedua ialah apabila kita menghabiskan simpanan glikogen di dalam otot dan dengan sengaja tidak mengisinya. Misalnya, bersenam dengan kerap selama seminggu dan meminimumkan pengambilan karbohidrat pada minggu tersebut. Mengurangkan pengambilan karbohidrat seperti ini ialah sesuatu yang biasanya dikhaskan untuk atlet elit. Pengurangan mana-mana kumpulan makanan (protein, karbohidrat atau lemak) hendaklah dilakukan dengan penyeliaan dan bimbingan profesional.\nAdakah Berpuasa Membakar Lemak?\nBerapa lamakah anda perlu berpuasa untuk senaman yang dilakukan dianggap sebagai FC?\nMenurut saintis sukan, tempoh masa yang diambil kebiasaannya antara lapan jam hingga 12 jam. Namun demikian, bagi sesetengah orang, masa yang diperlukan mungkin antara tiga jam hingga enam jam, bergantung pada seberapa cepat sistem pencernaan berfungsi dan jumlah makanan yang dimakan pada hidangan terakhir.\nApabila badan berhenti memproses dan memecahkan makanan, paras insulin akan menurun dan tiada sumber tenaga (glikogen) yang berada di dalam darah. Akibatnya, badan perlu beralih kepada sumber tenaga lain, iaitu lemak untuk membekalkan tenaga kepada otot ketika seseorang itu sedang bersenam.\nMenurut saintis sukan, berpuasa semalaman membuatkan badan berhenti memproses dan memecahkan makanan. Hal ini menyebabkan paras gula, tahap insulin dan simpanan glikogen turun berkurangan.\nLazimnya, sumber tenaga badan bergantung pada simpanan glikogen daripada karbohidrat yang diperoleh dalam diet. Oleh sebab itu, jika kita bersenam dalam keadaan berpuasa, iaitu dengan pengurangan glikogen, badan perlu beralih kepada sumber tenaga lain, yakni lemak untuk membekalkan tenaga kepada otot semasa bersenam.\nDalam keadaan kekurangan glikogen, badan akan cenderung menggunakan lemak sebagai sumber tenaga. Lipolisis ialah pecahan asid lemak dan gliserol yang disimpan dalam sel lemak yang dipanggil adiposit. Selepas lipolisis, asid lemak dan gliserol akan meninggalkan adiposit, memasuki aliran darah dan menuju ke tisu lalu digunakan sebagai sumber tenaga.\nPengoksidaan lemak berlaku apabila asid lemak dibakar untuk tenaga di dalam sel mitokondria. Ringkasnya, lipolisis ialah pemecahan, mobilisasi dan pengoksidaan lemak sebagai sumber tenaga. Sesetengah kajian mencadangkan lipolisis dan pengoksidaan lemak meningkat apabila senaman dilakukan dalam keadaan berpuasa.\nAdakah FC Berkesan?\nAntara beberapa faedah dan kebaikan yang boleh diperoleh daripada FC termasuklah:\nBerdasarkan beberapa kajian, FC meningkatkan peratusan pengoksidaan lemak. Hal ini bermakna lebih banyak kalori yang dibakar semasa senaman berasal daripada lemak yang disimpan dalam badan.\nBadan mempunyai simpanan glikogen yang terhad dalam hati dan otot rangka. Paras glikogen ini akan berkurangan selepas semalaman berpuasa.\nOleh itu, apabila seseorang itu melakukan FC, peratusan tenaga yang lebih besar adalah daripada proses pengoksidaan lemak. Beberapa kajian juga menunjukkan bahawa seseorang itu mungkin membakar hingga 20 peratus lebih lemak apabila bersenam semasa perut kosong.\nBeberapa kajian menunjukkan bahawa orang yang bersenam ketika perut kosong akan cenderung makan dengan jumlah yang sedikit sepanjang hari. Memandangkan penurunan berat badan berpunca daripada defisit kalori, terdapat kemungkinan bahawa pengambilan kalori yang berkurangan dalam keadaan FC menyumbang kepada penurunan berat badan dengan lebih banyak.\nSesetengah orang berasa lebih selesa jika bersenam semasa perut kosong. Misalnya, pelari dengan perut sensitif sering mendapati bahawa berlari dengan perut kosong menghalang kekejangan, cirit-birit dan kembung perut.\nBagi sesetengah pelari, kadangkala snek ringan juga boleh menyebabkan ketidakselesaan perut. Dalam kes ini, FC mungkin menjadi pilihan yang lebih baik.\nKebimbangan yang paling biasa apabila melakukan FC ialah hipoglisemia atau paras gula dalam darah menjadi rendah. Walau bagaimanapun, kebanyakan kajian menunjukkan bahawa FC tidak menyebabkan penurunan paras gula dalam darah yang memudaratkan, walaupun bagi mereka yang menghidap diabetes.\nKajian juga mendapati bahawa FC memberikan kesan yang positif terhadap pengawalan gula dalam darah dan meningkatkan kepekaan insulin apabila bersenam semasa perut kosong. Walau bagaimanapun, jika anda penghidap diabetes, anda harus mendapatlan nasihat kesihatan daripada doktor anda sebelum memulakan rutin FC.\nRisiko FC\nWalaupun pengurangan lemak mungkin merupakan faedah utama daripada FC, terdapat beberapa perkara penting yag perlu diambil perhatian jika ingin melakukan FC.\nKajian menunjukkan bahawa bersenam semasa perut kosong boleh meningkatkan tahap kortisol. Hal ini dikatakan demikian kerana badan menganggap melakukan senaman dalam keadaan perut kosong sebagai tekanan fisiologi terhadap badan.\nKortisol ialah sejenis hormon tekanan dalam badan. Hormon kortisol dirembeskan jika badan menerima tekanan. Paras kortisol dalam darah yang meningkat boleh menyebabkan badan menyimpan lebih banyak lemak, terutamanya di kawasan perut.\nKajian lain menunjukkan bahawa puasa secara amnya boleh menyebabkan kehilangan protein dan akhirnya kehilangan otot. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa jika kita cuba membina jisim otot, FC\u00a0mungkin bukan pilihan yang sesuai.\nPilihan untuk mengamalkan FC\u00a0merupakan keputusan peribadi. Melakukan senaman secara konsisten, tidak kira sama ada kita makan sebelum bersenam atau kita bersenam tanpa makan terlebih dahulu memberikan manfaat kesihatan yang baik jika dilakukan secara konsisten.\nJika kita tidak pernah melakukan senaman sebelum bersarapan, sebaik-baiknya hal tersebut dimulakan dengan perlahan-lahan. Berikan badan kita peluang untuk menyesuaikan diri dengan sebarang perubahan dalam jadual senaman dan gaya pemakanan. Carilah cara yang paling sesuai untuk menjadi aktif mengikut gaya hidup kita.\n\u00a0\nDr. Nursyuhada Mohd Sukri, Ketua Jabatan Sukan Prestasi Tinggi, Akademi Kecergasan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia." "Tekad DBP Menjulang Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sudah tersurat dalam sejarah bahawa bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu di negara ini sejak kemerdekaan negara pada tahun 1957. Penobatan itu tidak akan memberikan makna hakiki jika penghayatan dan pelaksanaannya tidak disertai oleh semua warganegara dalam semua sektor dan peringkat. \nDengan iltizam yang ditunjukkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku badan yang diamanahkan untuk memugar bahasa di negara ini akan menggalas amanah ini bersama-sama dengan semua pihak lain bagi mengangkat bahasa negara kita ke mercu yang setinggi-tingginya di peringkat kebangsaan dan persada dunia. \nSalah satu pernyataan penting YAB Perdana Menteri di Dewan Negara pada 23 Mac 2022 dan dalam ucapan lain ialah pentingnya Akta DBP 1959 dipinda untuk memungkinkan DBP bergerak dengan lebih berwibawa. Akta DBP 1959 lebih menjurus kepada penetapan prasarana dalam konteks peningkatan tarafnya daripada jabatan kerajaan menjadi badan berkanun. \nWibawa penguatkuasaan, penarafan, pengiktirafan dan pelesenan tidak terangkum dalam akta versi 1959 itu sehingga secara ringkas dapat dikatakan bahawa DBP bergerak sebagai badan dakwah bahasa yang sekadar dibolehkan \u201cmemberikan nasihat, teguran dan bimbingan dalam bentuk kursus\u201d. \nPindaan Akta DBP yang selaras dengan keperluan zaman melibatkan peningkatan wibawa DBP sebagai \u201cpihak berkuasa bahasa\u201d di negara ini yang dapat menjadi pengisi dan penggerak peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan dan undang-undang lain yang berkaitan dengan Dasar Bahasa Kebangsaan negara ini. \n\u201cKami amat berharap bahawa pernyataan YAB Perdana Menteri tentang pentingya Akta DBP dipinda diberi perhatian dan sokongan oleh semua pihak berkuasa agar cadangan pindaan yang dikemukakan oleh DBP dapat diabsahkan di Parlimen bagi melaksanakan amanat YAB Perdana Menteri.\u201c\n\u201cMaka itu, DBP memberikan komitmen yang tinggi dengan menjadi penganjur bersama simposium ini sebagai sokongan padu kepada gagasan dan hasrat YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia, untuk mengangkat bahasa Melayu menjadi bahasa yang lebih ampuh dan berkesan sebagai wasilah tamadun negara dan pada masa yang sama melonjakkannya sebagai bahasa serantau dan antarabangsa, taraf yang sebenarnya telah dicapai oleh bahasa Melayu lebih dua alaf lalu, tetapi kini perlu digemilangkan semula.\u201c\nSaya memetik kata kunci YAB Perdana Menteri dalam pertemuan dengan wakil-wakil pejuang bahasa pada 10 Mac 2022, iaitu \u201ckesinambungan kegemilangan bahasa Melayu perlu diwujudkan terus-menerus\u201d dan oleh itu beliau menegaskan pentingnya bahasa Melayu diperkukuh di dalam negara dan dijadikan bahasa rasmi kerajaan dalam urusan di pentas dunia. \nMaka itu simposium ini bukan sahaja menjadi wadah bicara ilmiah yang rutin, bahkan bermaksud untuk mengangkat satu agenda besar berkaitan dengan martabat bahasa Melayu, baik di peringkat negara mahupun di persada dunia,\u201d tegas YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, dalam ucapan alu-aluannya bersempena dengan Majlis Perasmian Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang berlangsung pada pagi ini, di Wisma DBP.\nBeliau turut merujuk ucapan YAB Perdana Menteri Malaysia, dalam sidang Dewan Negara pada 23 Mac 2022\u00a0 yang mendapat perhatian umum, iaitu perihal bahasa Melayu mempunyai keunggulan dan kelebihan yang tersendiri, khususnya dalam kalangan negara ASEAN. \nKeyakinan beliau bahawa suatu hari nanti bahasa Melayu dapat dijadikan bahasa rasmi ASEAN, bermula sebagai bahasa rasmi kedua, bukan tidak berasas. Sejak tahun 1980-an telah disuarakan cadangan itu dengan asas yang sama dengan yang dikemukakan oleh YAB Perdana Menteri, iaitu penyebaran bahasa Melayu yang meluas di rantau Asia Tenggara, meliputi negara berbahasa Melayu, iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam serta negara lain yang turut mempunyai penutur bahasa Melayu, iaitu Singapura, Thailand, Filipina, Kampuchea, Vietneam, Laos dan Myanmar. \nDalam kalangan negara ASEAN, empat buah negara mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, iaitu Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia dan Singapura, meskipun Indonesia menggunakan istilah \u201cbahasa Indonesia\u201d yang berkaitan rapat dengan perancangan pembinaan jati diri warganegaranya. \nAsas pengembangan bahasa Melayu serantau telah diletakkan kira-kira 50 tahun lalu melalui Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM) yang ditubuhkan pada tahun 1972 dan kemudian pada tahun 1985 menjadi Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM). Singapura dan Thailand menjadi anggota pemerhati MABBIM. \n\u201cSelanjutnya, gagasan YAB Perdana Menteri untuk meluaskan penggunaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa selaras dengan satu daripada bidang keutamaan kerangka Dasar Luar Negeri Malaysia yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri sendiri pada 7 Disember 2021, iaitu program Diplomasi Kebudayaan yang turut merangkumi unsur pengantarabangsaan bahasa Melayu. \nFakta itu seiring pula dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1, Tahun 2020, iaitu \u201cPemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangaan dalam Perkhidmatan Awam yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, yang antara lain menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dalam surat kepada pihak di luar negara dengan terjemahan dalam bahasa Inggeris. Malah cadangan itu telah mula dikemukakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia pada tahun 2011 melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9.\u201d\n\nJelas Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan lagi, pada tahun 2011, fungsi DBP dalam program pengantarabangsaan merupakan satu daripada unsur dalam pindaan Akta DBP kerana fungsi itu tidak terdapat dalam akta versi 1959 walaupun sejak tahun 1980-an DBP telah menggerakkan program pengantarabangsaan bahasa dan sastera Melayu. \nPada tahun 1997 pula, Jemaah Menteri telah meluluskan penubuhan Majlis Antarbangsa Bahasa Melayu (MABM) yang urus setianya DBP dan badan itu telah menyemarakkan program pengantarabangsaan bahasa Melayu. Sebahagian besar pemakalah dari luar Malaysia yang menyumbangkan buah fikiran dalam simposium ini merupakan penggerak MABM. \nDBP amat berharap agar diberi peruntukan kewangan yang cukup untuk memungkinkan MABM bergerak dengan lebih berkesan melalui prasarana dan pelan tindakan yang telah disusun dan dipiagamkan dalam sidang pertamanya pada tahun 2000 serta telah berjaya dilaksanakan sebahagiannya. \n\u201cTerima kasih kepada YAB Dato\u2019 Sri Ismail bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia, yang bukan sahaja merestui rancangan awal simposium bahkan mencadangkan supaya diundang tokoh-tokoh dari negara-negara ASEAN dan dari seluruh dunia sehingga simposium yang asalnya berskala sederhana untuk menghimpunkan tokoh-tokoh dalam negara bertukar tarafnya menjadi simposium yang bersifat antarabangsa dengan penyertaan tokoh-tokoh dari 17 buah negara sedunia, iaitu Amerika Syarikat, Rusia, Perancis, Jerman, Belanda, Australia, Republik Rakyat China, Korea Selatan, Uzbekistan, Azerbaijan, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, Thailand, Kampuchea dan Filipina, selain tokoh-tokoh di Malaysia. \nKejayaan menganjurkan wacana antarabangsa yang biasanya mengambil waktu satu tahun persiapannya, Alhamdulillah dapat digerakkan dalam tempoh sebulan lebih sahaj untuk simposium ini, berkat dorongan semangat daripada YAB Perdana Menteri sendiri dan juga berkat jaringan kerjasama negara ini, khasnya melalui DBP dengan tokoh-tokoh sedunia sejak puluhan tahun lalu.\u201d\nMaka itu, atas cadangan YAB Perdana Menteri jua, simposium ini dimeriahkan dengan tiga program iringan yang cukup bermakna, iaitu Sayembera Deklamasi Puisi Bahasa Melayu Antarabangsa, Pameran Kemajuan Bahasa Melayu di Malaysia dan di Peringkat Antarabangsa, dan Debat Terbuka Keluarga Malaysia. \nDBP berharap agar kerajaan dapat menjadikan wacana antarabangsa seperti simposium ini sebagai agenda tahunan yang diselaraskan dengan program Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM). Demikian juga, Sayembara Deklamasi Puisi Bahasa Melayu Antarabangsa wajar dijadikan kembar bagi Pertandingan Antarabangsa Pidato Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) yang dimulakan pada tahun 2007. \nPABM mewakili wacana ilmu bagi bahasa Melayu, sementara Sayembara Deklamasi Puisi mewakili sisi estetik bahasa Melayu yang sama pentingnya untuk mencapai keseimbangan peranan bahasa dalam pengembangan tamadun. Insya-Allah DBP dan Gabungan Penulis Malaysia (GAPENA) bersedia menjadi penganjurnya bersama-sama dengan Pejabat Perdana Menteri.\n\u201cDBP merakamkan penghargaan yang tinggi dan ucapan terima terima kasih kepada penganjur bersama simposium ini, iaitu Pejabat Perdana Menteri (khususnya YBhg Dato\u2019 Nor Nazimah binti Hashim Ketua Setiausaha Sulit YAB Perdana Menteri dan Dr. Kamarul Zaman bin Hj. Yusoff Pegawai Khas YAB Perdana Menteri), Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Institut Peradaban Melayu (IPM) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dan seterusnya Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) serta seluruh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan di samping pihak-pihak lain yang membantu menjayakan simposium ini. \nUcapan penghargaan juga kepada semua anggota jawatankuasa penggerak simposium ini, pemakalah, anggota panel forum, pengerusi sesi, media dan pelbagai pihak lain yang memberikan sokongan dan kerjasama padu dalam penganjuran program yang bersejarah ini,\u201d ucap Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang turut merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia, kerana mencatat lembaran sejarah dengan\u00a0 perancangan dan pelaksanaan mengangkat martabat bahasa Melayu di peringkat negara dan di persada dunia." "Pelajar Politeknik Ungku Omar Praktik Amalan Sistem Binaan Berindustri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Sebanyak 24 orang pelajar program Diploma Kejuruteraan Awam, Politeknik Ungku Omar berpeluang ke Kilang Ajiya, Shah Alam untuk mempelajari Sistem Binaan Berindustri atau Industrialised Building System (IBS), yakni sistem binaan kerangka keluli ringan secara praktikal, baru-baru ini.\nPenyelaras kursus dan pengarah program lawatan, Puan Dayana Safra Mohd Sopian berkata IBS in Sustainable Construction ditawarkan kepada pelajar semester ketiga program Diploma Kejuruteraan Awam di politeknik tersebut untuk memberikan pendedahan kepada pelajar tentang inovasi dalam pembinaan IBS.\n\u201cDalam program ini, pelajar akan didedahkan kepada pemasangan komponen IBS secara praktikal dengan mematuhi garis panduan Koordinasi Modular dan Skor IBS dalam projek kejuruteraan awam yang merangkumi aspek pengurusan dan penyeliaan tapak dalam projek IBS serta praktis penjimatan masa dan sumber,\u201d katanya.\nAntara kelebihan teknologi dalam pembinaan yang semakin mendapat tempat di sektor pembinaan ini termasuklah proses pemasangan yang cepat dan mudah, reka bentuk yang fleksibel, tidak memerlukan kerja kimpalan, dapat mengurangkan pembaziran di tapak pembinaan dan meminimumkan penggunaan jentera berat.\nMenurut Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub selaku penasihat program,\u00a0sesi praktikal di Kilang Ajiya membolehkan pelajar memahami proses pemasangan sistem komponen IBS bagi jenis kerangka besi\nLawatan ini juga memberikan peluang kepada pelajar untuk mempelajari pengurusan masa dan sumber dengan kawalan kualiti dalam pemasangan sistem kerangka besi yang berkonsepkan IBS.\nAjiya Metal Group merupakan syarikat pengeluar dan pembekal bahan binaan berasaskan besi dan keluli, terutamanya yang melibatkan IBS seperti Sistem Dinding Pintar." "Pelaksanaan Operasi Ramadan 2023 Jamin Keselamatan Makanan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pelaksanaan Operasi Ramadan 2023 akan dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara serentak di seluruh negara di semua premis makanan termasuklah bazar Ramadan berpandukan Garis Panduan Pelaksanaan Operasi Ramadan 2023 bagi memastikan makanan yang disediakan atau dijual adalah selamat, mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya.\nAktiviti operasi ini melibatkan pemeriksaan premis dan persampelan makanan yang turut dijalankan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).\n\u201cKKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sentiasa menjalankan aktiviti pemantauan bagi peniaga yang telah dilesenkan oleh PBT sebelum dan semasa bulan Ramadan bagi memastikan keselamatan makanan yang dijual adalah selamat dan terjamin kebersihannya,\u201d kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg. Tan Sri Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini.\nTaklimat keselamatan makanan kepada pengendali bazar Ramadan dan memastikan pengendali makanan mendapat suntikan pelalian antitifoid serta menjalani latihan pengendalian makanan yang betul juga adalah antara langkah keselamatan yang dilakukan dengan kerjasama PBT.\nSelain itu, pelbagai kempen kesedaran berkaitan dengan keselamatan kepada orang ramai, pengendali dan pengusaha premis bahan mentah, premis penyediaan makanan dan premis pembekal makanan turut dijalankan melalui bahan pendidikan kesihatan, media massa, media elektronik dan media sosial.\nPembeli perlu memilih gerai yang bersih, manakala peniaga harus mengamalkan pengendalian makanan yang baik, misalnya membasuh bahan\u00a0 mentah terlebih dahulu sebelum digunakan dalam penyediaan makanan dan tidak menyediakan makanan yang berisiko tinggi untuk basi terlalu awal daripada waktu jualan.\nMelalui pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan, KKM memberikan jaminan bahawa tahap keselamatan dan kualiti makanan adalah terkawal berikutan KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap hal yang boleh mengancam keselamatan pengguna.\nSebarang aduan berkaitan dengan keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri, Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau menerusi laman sesawang KKM." "MCMC dan Melaka Bekerjasama Pertingkat Penggunaan e-Tunai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Melaka bagi meluaskan kesedaran dan meningkatkan penggunaan e-tunai di negeri Melaka menerusi inisiatif \u201cMelaka e-Tunai di Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri\u201d.\nMCMC sentiasa komited dalam menyokong segala usaha untuk meningkatkan penerimagunaan teknologi digital yang meluas dalam kalangan rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang berpacukan pendigitalan dan sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital.\nBerdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh MCMC, inisiatif tersebut adalah antara kempen promosi dan kesedaran yang dibangunkan dengan kerjasama Unit Kerajaan Tempatan Jabatan Ketua Menteri Melaka, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Melaka dan penyedia perkhidmatan kewangan (FSPs) serta platform digital bagi memacu peralihan kepada pembayaran tanpa tunai dalam kalangan masyarakat.\nPenggunaan perkhidmatan FSPs atau penyedia platform digital adalah antara pemangkin utama bagi memupuk budaya pembayaran tanpa tunai dalam kalangan masyarakat yang akan memacu transformasi digital serta membolehkan Malaysia mencapai pembangunan ekonomi digital yang mampan.\nBagi memudahkan proses pembayaran tanpa tunai dan membolehkan peniaga menikmati insentif serta pelbagai tawaran istimewa yang disediakan menerusi inisiatif Melaka e-tunai ini, mereka digalakkan untuk mendaftarkan perniagaan yang diusahakan dengan FSPs atau penyedia platform digital.\nMenerusi kempen ini, pengunjung di bazar Ramadan atau bazar Aidilfitri boleh berbelanja dan menikmati pelbagai tawaran yang disediakan termasuklah pulangan tunai melalui aplikasi e-dompet TnG, Boost, Maybank dan penghantaran makanan Foodpanda.\nKini, MCMC sedang bekerjasama dengan rakan strategik seperti Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) dan FSPs termasuklah TNG Digital Sdn. Bhd., Axiata Digital eCode Sdn. Bhd. (Boost), Maybank dan Delivery Hero Malaysia Sdn. Bhd. (Foodpanda) bagi menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan digital mereka di Melaka." "Tibi: Saringan Awal Elak Komplikasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Saringan awal penyakit tibi perlu dipergiatkan sebagai satu daripada inisiatif untuk meningkatkan kadar pengesanan kes tibi, terutamanya bagi golongan yang berisiko tinggi dijangkiti penyakit ini seperti kontak rapat kepada kes tibi, pesakit human immunodeficiency virus (HIV), pesakit buah pinggang kronik, pesakit pulmonari obstruktif kronik dan perokok aktif.\nJumlah kes tibi yang dilaporkan di Malaysia pada tahun lalu adalah sebanyak 25 391 kes dengan peningkatan sebanyak 3664 kes (17 peratus) berbanding dengan 21 727 kes pada tahun 2021.\nBersempena dengan Sambutan Hari Tibi Sedunia, Menteri Kesihatan Malaysia, YB Dr. Zaliha Mustafa berkata, \u201cSambutan ini dilaksanakan adalah untuk meningkatkan kesedaran, komitmen serta sokongan pelbagai pihak terhadap usaha kawalan dan pencegahan penyakit tibi yang dilakukan di seluruh negara.\u201c\nSambutan Hari Tibi Sedunia yang bertemakan Yes! We Can End TB! ini memberikan inspirasi dan harapan kepada negara dalam usaha menamatkan epidemik tibi melalui pelibatan kepimpinan peringkat tertinggi menjelang tahun 2035 bagi meningkatkan pelaburan dan menggembleng seluruh usaha, tenaga, kepakaran dan inovasi.\nJumlah kematian tibi di negara ini pada tahun 2022 adalah sebanyak 2572 kematian berbanding dengan 2288 kematian pada tahun 2021, iaitu berlaku peningkatan kadar kematian sebanyak 284.\nKementerian Kesihatan Malaysia menyarankan agar semua pesakit sentiasa mematuhi jadual rawatan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang komplikasi yang boleh menyebabkan morbiditi dan mortaliti serta sokongan daripada ahli keluarga, majikan, rakan sekerja dan masyarakat sangat penting bagi memastikan pesakit tidak berhenti dalam mendapatkan rawatan.\nPesakit yang enggan atau berhenti daripada meneruskan rawatan boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).\nBagi mencapai hasrat negara dalam menamatkan penyakit tibi menjelang tahun 2035, stigma negatif terhadap pesakit tibi dan salah faham berkaitan dengan penyakit ini perlu dihentikan serta komitmen yang tinggi daripada anggota kesihatan di samping kerjasama yang erat dari semua agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan amat diperlukan." "Kesan Pengambilan Kopi terhadap Prestasi Senaman dan Sukan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAlex Rossetto dan Luke Parkin merupakan pelajar dan atlet di Universiti Northumbria, United Kingdom. Sebagai atlet, mereka mempunyai kecergasan yang tinggi dan dipilih untuk menyertai satu kajian berkaitan dengan senaman dan kafein.\nPada hari kajian tersebut, semuanya berjalan seperti biasa. Mereka perlu mengambil dos kafein yang ditetapkan dan menjalankan protokol senaman. Namun begitu, ujian terpaksa dihentikan serta-merta kerana kedua-dua mereka secara tiba-tiba mengalami sakit kepala yang sangat teruk, loya, muntah dan menggigil. Mereka kemudiannya dimasukkan ke unit rawatan rapi di hospital selama seminggu. Mereka juga mengalami beberapa simptom lain termasuklah hilang ingatan.\nPihak universiti melakukan siasatan terhadap kejadian tersebut dan mereka menemukan perkara yang sangat mengejutkan. Pihak penyiasat mendapati bahawa pengkaji tersalah melihat titik perpuluhan ketika menjalankan prosedur kajian tersebut.\nKedua-dua pelajar tesebut sepatutnya mengambil sebanyak 0.3 gram kafein. Walau bagaimanapun, kesilapan yang berlaku telah menyebabkan mereka mengambil sejumlah 30 gram kafein, iaitu 100 kali ganda daripada jumlah asal.\nTindakan ini merupakan kesilapan yang sangat besar kerana terdapat kes sebelum ini yang melibatkan individu maut selepas mengambil 18 gram kafein. Keluarga mangsa akhirnya berjaya memenangi kes saman terhadap universiti berjumlah \u00a3400 000 (RM1.9 juta) disebabkan kecuaian tersebut.\nKisah tersebut merupakan kisah yang mengegarkan dunia sains sukan pada tahun 2015. Kejadian ini membuka mata banyak pihak mengenai kesan dos kafein yang melebihi tahap yang dibenarkan. Namun demikian, anda tidak perlu risau tentang dos kafein yang diminum sehari-hari. Untuk mencapai tahap 300 gram kafein, anda perlu mengambil kira-kira 3125 cawan kopi (satu cawan kopi mengandungi lebih kurang 96 miligram kafein).\nHal kafein dan senaman bukanlah perkara baharu dalam sains sukan. Hingga tahun 2003, World Anti-Doping Agency (WADA) menyenaraikan kafein sebagai bahan terlarang untuk acara sukan disebabkan sifatnya yang merangsang kebolehan atlet. Perkara ini dilihat tidak menyemai semangat kesukanan dalam kalangan atlet dan memberikan kelebihan terhadap atlet yang mengambil kopi dalam kehidupan seharian.\nPelumba basikal profesional misalnya, mereka mempunyai strategi \u201cbotol pengakhiran\u201d yang diminum pada hujung perlumbaan. Botol ini mengandungi kafein untuk memberikan mereka sedikit rangsangan untuk melintasi garisan akhir. Walaupun kafein telah dikeluarkan daripada senarai pada tahun 2003, namun pada tahun ini, kafein dimasukkan semula dalam senarai \u201cDalam Pemerhatian\u201d oleh WADA.\nBagi golongan atlet bukan profesional, penggunaan kafein sebagai perangsang ketika bersenam bukanlah sesuatu yang asing. Mengikut pernyataan oleh Persatuan Nutrisi Sukan Sedunia (ISSN) pada tahun 2021, pengambilan kafein sebelum sesi senaman meningkatkan pencapaian aerobik dan anaerobik dalam kalangan amatur dan profesional. Pencapaian yang lebih baik membolehkan individu untuk bersenam pada tahap intensiti yang lebih tinggi dan seterusnya memperbaiki pencapaian diri.\nNamun begitu, tidak semuanya tentang senaman dan kafein itu indah. Satu daripada sifat kafein dalam badan manusia ialah diuretik. Diuretik merujuk bahan yang menggalakkan badan untuk menyingkirkan air dan garam melalui sistem urinari.\nSeperti yang diketahui umum, dehidrasi ialah musuh utama bagi mereka yang bersenam. Kandungan air yang kurang dalam badan akan menyebabkan badan tidak berfungsi pada tahap optimum dan menyebabkan bahaya. Oleh sebab itu, mereka yang mengambil kafein (sumber kopi dan bukan kopi) perlu mengambil perhatian terhadap tanda segi tiga dehidrasi seperti air kencing berwarna kuning pekat, terasa haus dan kehilangan sebanyak lima peratus berat badan dalam jangka masa singkat.\nSekiranya anda mempunyai dua daripada tiga tanda tersebut, hal ini bermaksud bahawa anda berada dalam keadaan dehidrasi. Dehidrasi merupakan perkara yang perlu diberikan perhatian, terutamanya ketika menjalani ibadah berpuasa. Anda harus memastikan bahawa anda mempunyai strategi hidrasi pada luar waktu berpuasa dan tidak hanya minum ketika sahur. Dehidrasi dan diuretik bukanlah kombinasi yang baik ketika berpuasa\nPerkara ketiga yang perlu diberikan perhatian mengenai senaman dan kafein ialah tidur. Rehat ialah komponen yang penting dalam senaman. Rehat yang cukup membolehkan badan pulih selepas senaman dan membolehkan proses adaptasi berlaku.\nDalam badan manusia, terdapat satu sistem kunci dan mangga yang mengawal aktiviti tidur. Sistem ini boleh diaktifkan oleh \u201ckunci\u201d yang dikenali sebagai adenosina. Apabila kunci dan mangga ini bergabung, badan akan mendapat isyarat untuk tidur seperti sistem saraf menjadi perlahan dan rasa mengantuk.\nKetika seorang itu mengambil kafein, struktur kafein mempunyai bentuk seakan-akan adenosina tersebut. Kafein akan bertindak sebagai \u201ckunci\u201d dan mengganggu sistem ini. Namun begitu, seperti analogi kunci tadi, walaupun mempunyai bentuk yang seakan-akan sama, kunci yang salah tidak akan dapat membuka mangga yang bukan pasangannya.\nDengan itu, individu tersebut tidak akan mengantuk untuk suatu jangka masa. Walau bagaimanapun, kita bernasib baik kerana kafein akan akhirnya dibuang oleh badan. Hal ini akan membolehkan sistem dan tabiat tidur individu akan kembali normal.\nOleh sebab itu, sekiranya anda bersenam dan meminum kopi, pastikan pengambilan kopi tidak menghampiri waktu tidur bagi mengelakkan proses pemulihan dan adaptasi anda terganggu. Keadaan ini akan mengganggu kemajuan dan pencapaian proses senaman.\nSelain tiga perkara tersebut, terdapat perkara lain yang perlu diberikan perhatian. Seperti peransang lain, kafein sangat bergantung kepada ketahanan individu. Terdapat individu yang boleh mengambil sebanyak empat cawan kopi tanpa sebarang tanda. Sementara itu, terdapat individu yang mengalami tanda seperti palpitasi atau berdebar-debar apabila mengambil separuh cawan minuman berkafein sahaja. Oleh sebab itu, penting untuk setiap individu mengambil kopi mengikut tahap ketahanan masing-masing.\nPerangsang seperti kafein boleh menyebabkan kebergantungan terhadap badan. Apabila perkara ini berlaku, individu akan berasa lemah dan prestasi akan merosot sekiranya tidak mengambil kopi. Lebih teruk lagi, terdapat individu yang akan mengalami simptom penarikan seperti sakit kepala, lesu, cepat marah dan tidak gembira sekiranya tidak mengambil kopi.\nSebagai kesimpulannya, pengambilan kopi untuk aktiviti senaman adalah dibolehkan kerana boleh memberikan galakan untuk pencapaian senaman. Namun begitu, individu perlu mengambil perhatian mengenai hidrasi dan tidak membentuk sifat kebergantungan terhadap kafein dalam senaman dan kehidupan seharian.\n\u00a0\nMuhamad Faiz Alias, Program Diploma Fisioterapi, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sungai Buloh.\nDr. Noor Hafifi Noorhisham Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas,\nFakulti Sains Kesihatan (Fisioterapi), Universiti Kebangsaan Malaysia." "Terapi Lebah sebagai Rawatan Alternatif Tangani Masalah Kesihatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Rawatan apitheraphy atau dikenali sebagai terapi lebah ialah satu daripada rawatan alternatif yang berasaskan bisa dan produk lebah yang digunakan untuk merawat masalah kesihatan.\nProduk lebah bukan tertumpu kepada madu semata-mata, malah produk debunga lebah, propolis, madu ratu lebah, lilin dan anak lebah turut digunakan untuk rawatan apitheraphy.\n\u201cBerdasarkan pengalaman saya sepanjang memberikan rawatan apitheraphy kepada pesakit dalam tempoh 15 tahun ini, saya mendapati bahawa pelbagai masalah kesihatan berjaya dirawat dengan menggunakan rawatan tersebut seperti masalah kulit, cakera teranjak dan sinus,\u201d kata Pengasas Rawatan Lebah, Rosli Khalid menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia, pagi tadi.\nBeliau juga menjelaskan bahawa rawatan apitheraphy boleh dilakukan terhadap bayi seawal tiga bulan, misalnya bayi yang mengalami masalah kulit kerana terdapat produk yang diolah daripada produk lebah dan dijadikan krim.\n\u201cRawatan apitheraphy boleh dimulakan dengan menggunakan dua ekor lebah bagi penyakit biasa, manakala boleh mencecah hingga 50 ekor penggunaan lebah untuk merawat penyakit yang ekstrem seperti masalah payudara,\u201d ujar beliau.\nJika melibatkan penyakit kronik, saya mengesyorkan agar pesakit membuat rawatan sebanyak 30 sesi, yakni selama 30 hari dan perlu mendapatkan rawatan ini setiap hari.\nMengulas lebih lanjut, beliau turut menyatakan bahawa lebah daripada spesies Apis mellifera adalah antara jenis lebah yang digunakan untuk rawatan apitheraphy di seluruh dunia.\n\u201cSesiapa yang ingin mendapatkan rawatan apitheraphy, mereka digalakkan untuk mendengar taklimat berkenaan dengan rawatan ini bagi membolehkan pesakit memahami kaedah rawatan apitheraphy dan mengelakkan sebarang kesukaran ketika rawatan dijalankan,\u201d katanya lagi.\nPada akhir sesi temu bual, beliau menegaskan bahawa pendedahan terhadap rawatan apitheraphy sebagai satu daripada alternatif untuk merawat pelbagai penyakit dapat disebarluaskan kepada masyarakat agar manfaatnya dapat diperoleh, terutamanya bagi pihak yang sememangnya memerlukan pertolongan." "Peranti Perubatan Tidak Berdaftar Undang Bahaya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Peranti perubatan yang tidak berdaftar berisiko mendatangkan bahaya kepada pengguna berikutan kualiti dan keselamatannya tidak terjamin.\nApabila peranti perubatan telah berdaftar, hal ini bermakna peranti tersebut telah dinilai keselamatannya oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA).\n\u201cJika pengguna menggunakan peranti perubatan yang murah dan tidak berdaftar, peranti berkenaan berkemungkinan memberikan bacaan yang tidak tepat dan menyebabkan kekeliruan kepada pengguna,\u201d kata Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia, YBrs. Dr. Muralitharan Paramasua dalam sesi temu bual menerusi rancangan Jendela Fikir anjuran Bernama Radio, semalam.\nJelas beliau, pengguna yang menggunakan peranti perubatan seperti alat ujian COVID-19 yang tidak berdaftar dan tidak menepati piawaian berisiko mendapat keputusan bacaan yang tidak tepat dan menyebabkan pengguna keliru, sama ada dirinya positif ataupun negatif COVID-19.\nBerdasarkan Akta 737, semua peranti perubatan, syarikat yang menghasilkan, mengedarkan atau menjual peranti perubatan serta iklan yang digunakan untuk mengiklankan peranti perubatan perlu berdaftar dengan MDA.\n\u201cPengguna yang melanggar mana-mana seksyen dalam Akta 737 dan didapati melakukan kesalahan, mereka boleh didenda hingga RM300 000 atau penjara selama tiga tahun ataupun kedua-duanya sekali,\u201d ujar beliau lagi.\nOrang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada ketika membeli atau menggunakan peranti perubatan dengan memastikan setiap peranti perubatan yang ingin dibeli memiliki nombor kelulusan daripada MDA.\nPengguna boleh melakukan semakan peranti perubatan di laman sesawang MDA dan sebarang aduan yang berkaitan boleh dikemukakan dalam Sistem Pengurusan Maklum Balas MDA (FEMES) ataupun membuat panggilan telefon kepada MDA menerusi talian 03-8230 0300." "Bengkel Praklinikal Optometri Tingkat Kemahiran Klinikal Pelajar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bengkel Praklinikal Optometri yang disertai oleh pelajar Program Optometri dan Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mampu meningkatkan kemahiran klinikal para pelajar agar lebih bersedia sebelum memulakan tahun klinikal dan memberikan perkhidmatan kepada masyarakat umum.\nBengkel yang diadakan selama seminggu ini dijayakan oleh\u00a0Dr. Woi Pui Juan, pensyarah akademik dan klinisian Program Optometri ini menerapkan pelbagai sesi kuliah, perbincangan antara kumpulan kecil dan sesi praktikal, yakni setiap pelajar optometris pelatih menjalankan pemeriksaan mata komprehensif kepada pesakit sebenar untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik tentang prosedur klinikal optometri.\n\u201cMenerusi bengkel ini, pelajar akan lebih bersedia untuk melangkah ke alam klinikal dan memberikan perkhidmatan optometri yang terbaik kepada para pesakitnya,\u201d kata Ketua Program Optometri dan Sains Penglihatan, Dr. Mizhanim Mohamad Shahimin.\nPada masa yang sama, sesi \u201cPenyarungan Jubah Putih\u201d dijalankan sebagai simbolik tanggungjawab klinikal yang digalas oleh setiap pelajar optometris pelatih untuk memberikan perkhidmatan penjagaan mata primer dengan standard tertinggi kepada pesakit dengan penuh profesional sebaik sahaja menginjak ke alam klinikal pada Mei nanti.\nDalam program tersebut juga, para pelajar melafazkan \u201cIkrar Pelajar Klinikal\u201c yang diketuai oleh wakil pelajar, Encik Asyraf Zulhakim Shamsul sebagai peringatan kepada para pelajar tentang kepentingan profesion optometri dan peranan kritikal yang dimainkan oleh profesional penjagaan kesihatan mata kepada masyarakat.\nSecara keseluruhannya, bengkel ini berjaya menyediakan asas yang kukuh dalam kemahiran praklinikal yang diperlukan untuk berjaya sebagai pelajar optometris pelatih dan sesi \u201cPenyarungan Jubah Putih\u201d berkenaan adalah sangat bermakna kepada pelajar dalam meraikan kemasukan mereka ke alam profesion optometri serta bersedia dengan komitmen tinggi untuk berkhidmat kepada masyarakat." "Pentingnya Penyelaras Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan di Tempat Kerja\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Seminar Pengenalan kepada Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan anjuran Persatuan Pelajar MIHA Student Chapter, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama-sama Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri serta Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UKM Kampus Kuala Lumpur membincangkan skop tugas dan kepentingan pelantikan seorang penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di tempat kerja.\nSeminar yang diadakan di Dewan Kuliah 1, Blok N, UKM Kampus Kuala Lumpur itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Seminar Pengenalan kepada Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, YBrs. Profesor Madya ChM. Dr. Normah Awang.\n\u201cSaya berasa amat gembira kerana hajat untuk menganjurkan seminar yang berkaitan dengan skop tugas dan kepentingan pelantikan seorang penyelaras KKP di tempat kerja telah dapat direalisasikan dan mendapat sambutan yang baik daripada para peserta,\u201d kata YBrs. Profesor Madya ChM. Dr. Normah Awang.\nSeminar ini dikendalikan oleh wakil daripada Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Ts. Tuan Haji Mohd Esa Haji Baruji merangkap Pakar Teknikal 1 di Bahagian Perunding, Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan NIOSH yang mempunyai kepakaran dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.\nBeliau yang berpengalaman bekerja selama 23 tahun dalam bidang KKP telah banyak terlibat sebagai penceramah dan pengajar dalam pelbagai program dan aktiviti yang berkaitan dengan bidang KKP, sama ada yang dianjurkan oleh NIOSH atau agensi luar.\nDalam seminar tersebut, para peserta didedahkan tentang NIOSH yang merupakan pusat pengajar penyelaras KKP dan Pelan Induk KKP Negara (2021-2025), iaitu Keperluan Perundangan KKP yang merujuk keperluan melantik penyelaras KKP seperti yang dinyatakan dalam Akta A1648, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan 2022).\nSelain itu, hal berkaitan dengan kelayakan, tanggungjawab dan kelebihan menjadi penyelaras KKP juga dijelaskan dalam seminar berkenaan bagi meningkatkan pengetahuan para peserta.\nPada masa yang sama, latihan dan kandungan berkenaan dengan modul kursus penyelaras KKP juga diperkenalkan bagi membolehkan para peserta mengetahui topik yang akan diajar sebelum melayakkan diri menjadi penyelaras KKP serta diterangkan juga maklumat dan kelayakan bagi keperluan laluan kerjaya sebagai penyelaras KKP.\nMelalui seminar itu, kesemua peserta dapat memahami dengan lebih jelas mengenai skop tugas sebagai seorang penyelaras KKP dan menjadi lebih peka terhadap keperluan majikan dalam melantik sekurang-kurangnya seorang penyelaras KKP bagi membantu majikan menyelaras pematuhan perundangan dan penganjuran pelbagai program KKP di tempat kerja masing-masing.\nSeminar tersebut dihadiri oleh 139 orang peserta yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri, FSK, UKM bagi merebut peluang menimba ilmu pengetahuan untuk menjadi seorang penyelaras KKP selepas tamat pengajian." "JMG Kenal Pasti 221 Cerun Kritikal\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah mengenal pasti sebanyak 221 cerun kritikal yang perlu diberikan perhatian oleh semua pihak yang berkaitan, terutamanya ketika musim monsun melanda.\nOleh yang demikian, ahli geologi perlu sentiasa peka bagi memastikan penduduk yang terdedah kepada bencana geologi ini diberikan pengetahuan yang mencukupi agar insiden seperti yang berlaku di Batang Kali pada Disember tahun lalu tidak berulang kembali.\n\u201cInsiden yang mengorbankan 31 nyawa di Batang Kali pada tahun lalu boleh dielakkan jika semua pihak memberikan perhatian serius terhadap pembangunan di sesuatu kawasan dengan memastikan tapak yang hendak dibangunkan berada dalam keadaan stabil, selamat dan tidak berisiko mengalami bencana geologi seperti tanah runtuh serta aliran puing yang telah beberapa kali berulang juga perlu diberikan perhatian,\u201d kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan.\nMenurut beliau, ahli geologi di Malaysia adalah antara ahli profesional yang terawal dalam membantu pembangunan negara bagi mencari dan meneroka sumber mineral, iaitu sumber bijih timah serta menyumbang pelbagai ilmu dan tenaga di negara ini sejak lebih daripada 100 tahun yang lalu.\nKini, industri perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) sedang giat dilaksanakan bagi membantu pertumbuhan ekonomi negara dan ahli geologi di negara ini juga digalakkan untuk meneroka sumber tenaga boleh diperbaharui seperti geoterma kerana terdapat beberapa kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan.\nJelas beliau lagi, NRECC melalui JMG juga terlibat secara langsung dalam merangka Pelan Strategik Air Tanah, 2021-2040 bagi menyokong agenda Water Sector Transformation 2040 (WST 2040) untuk memastikan sumber bekalan air negara terus berada dalam keadaan mampan melalui kajian terhadap sumber air di bawah tanah yang berterusan dan boleh digunakan secara konjungtif.\nSelain itu, Pelan Pembangunan dan Pelaksanaan Geopark Negara juga sedang giat dibangunkan agar pembangunan geopark di Malaysia dapat dilaksanakan secara terkawal dan lestari serta kejadian bencana geologi turut dipantau dan dikawal dengan rapi.\nPada masa yang sama, NRECC turut terlibat dalam melaksanakan Arahan No. 20 dalam Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara, iaitu menjalankan Program Pengurusan Bencana Berasaskan Komuniti bagi mengurangkan risiko ancaman bencana geologi sama ada kehilangan nyawa ataupun harta benda.\nSesuai dengan tema sambutan Hari Ahli Geologi, yakni \u201cAhli Geologi Memacu Perubahan\u201d, ahli geologi dan ahli geosains di Malaysia perlu menggembleng tenaga dalam memacu kepada perubahan di negara ini bukan sahaja dari aspek teknikal dan ilmiah semata-mata, malah meningkatkan usahasil sumber geologi, khususnya sumber mineral, hidrokarbon (minyak dan gas) dan tenaga boleh diperbaharui yang menjadi pemangkin kepada ekonomi negara.\nSelaras dengan hala tuju NRECC dalam mendukung gagasan Malaysia Madani agar negara ini dibangunkan dengan tatakelola pentadbiran yang baik, ahli geologi perlu berusaha dalam memberikan sumbangan dan bekerjasama dengan semua entiti yang terlibat dalam pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat." "Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu akan Dijadikan Acara Tahunan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Satu berita baik buat pejuang dan pencinta bahasa Melayu apabila YAB Dato\u2019 Sri Ismail Yaakob mengumumkan bahawa Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu\u00a0akan diadakan sebagai acara tahunan. Beliau berkata demikian sebelum mengakhiri ucapannya dalam Majlis Perasmian Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu, di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur, pada pagi ini.\nSimposium ini merupakan penzahiran maklum balas ke atas hasrat Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, yang mahu melihat bahasa Melayu dimartabatkan di dalam negara dan diperluas penggunaannya pada peringkat ASEAN dan antarabangsa. Oleh itu, Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); dan Institut Peradaban Melayu (IPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang kini berlangsung selama tiga hari dan dijadualkan berakhir pada 24 Mei 2022.\n\nSimposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu pada kali ini disertai oleh 16 buah negara, dengan \u00a0lebih daripada 60 orang pembentang kertas kerja menerusi 15 sidang yang menyentuh pemartabatan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang, seperti pendidikan, pendidikan tinggi, undang-undang, ekonomi, diplomasi, pengurusan, sains, teknologi, multimedia dan komunikasi, dan sebagainya.\n\u201cUsaha ini merupakan antara pendekatan untuk memartabatkan bahasa Melayu di persada dunia dan digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang ilmu,\u201d ujar YAB Perdana Menteri yang turut mengumumkan bahawa Pejabat Perdana Menteri akan terus memberikan komitmen yang berterusan terhadap penganjuran simposium ini sebagai acara tahunan pada masa akan datang.\n\u201cSaya mengucapkan syabas kepada semua pihak yang menjayakan simposium ini. Semoga simposium\u00a0ini dapat dijadikan pentas dalam memartabatkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu, iaitu bahasa yang menjadi kebanggaan dan identiti Keluarga Malaysia yang berbilang kaum dan bersatu padu kerana bahasa Melayu bangsa berbudi, bahasanya indah bicaranya murni. Begitu juga bangsa Melayu yang berpekerti, bahasanya akan terus dipandang tinggi,\u201d ucap YAB Perdana Menteri yang mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin yang hadir." "Ikan Buntal Beracun Dilarang Dijual di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Ikan buntal yang mengandungi toksin berbahaya tidak dibenarkan dijual di Malaysia mengikut Seksyen 13 Akta Makanan 1983 yang telah menerangkan dengan jelas larangan penjualan apa-apa makanan yang mengandungi atau terdapat apa-apa bahan yang beracun, berbahaya atau sebaliknya yang boleh memudaratkan kesihatan.\nLarangan khusus mengenai penjualan ikan buntal juga sudah ditetapkan mengikut Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia 1972.\n\u201cBerdasarkan data daripada Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 58 kes keracunan ikan buntal telah dilaporkan dan menyebabkan 18 kematian dari tahun 1985 hingga Mac tahun ini,\u201d kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg. Tan Sri Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan.\nJelas beliau, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sudah menyediakan pelbagai bahan pendidikan sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai toksin berbahaya yang terkandung di dalam ikan buntal.\nKKM akan terus mendidik orang ramai tentang keselamatan makanan termasuklah bahayanya memakan ikan buntal.\nKenyataan tersebut adalah susulan daripada laporan seorang wanita warga emas yang maut di Kluang, Johor, manakala suaminya masih dirawat di unit rawatan rapi, Hospital Enche\u2019 Besar Hajjah Kalsom, Kluang akibat keracunan makanan selepas memakan ikan buntal." "Hingar Putih Mampu Atasi Pencemaran Bunyi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPencemaran bunyi didefinisikan sebagai penghasilan bunyi yang tidak dikehendaki. Pada kebiasaannya, bunyi yang kuat dan bising dihasilkan oleh mesin, haiwan atau manusia sehingga mengganggu aktiviti atau keseimbangan kehidupan.\nPencemaran bunyi boleh terhasil apabila bunyi tersebut melebihi 80 desibel (dB). Pada hakikatnya, punca utama berlakunya pencemaran bunyi adalah daripada kenderaan. Pencemaran bunyi yang terhasil daripada kapal terbang juga mempengaruhi kehidupan dan memberikan kesan terhadap manusia di sekitarnya seperti gangguan tidur dan tekanan.\nSeterusnya, aktiviti perindustrian seperti perkilangan dan kuari juga adalah antara punca pencemaran bunyi. Tidak ketinggalan, aktiviti kejiranan dan kemasyarakatan turut menyumbang kepada pencemaran bunyi, misalnya kerja membaik pulih rumah yang dilakukan di kawasan perumahan agak menjengkelkan dan mengganggu ketenteraman jiran tetangga.\nSelain itu, manusia juga berisiko kehilangan pendengaran disebabkan bunyi bising (NIHL). Keadaan ini berlaku apabila struktur di dalam telinga rosak kerana bunyi bising yang melampau yang turut menyebabkan manusia sukar untuk tidur pada waktu malam. Tidur yang tidak berkualiti dan tidak mencukupi akan menggangu fungsi badan serta memberikan tekanan kepada individu yang mengalaminya. Hal ini juga berkait rapat dengan peningkatan kadar kemurungan dan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.\nDi samping itu, pelbagai penyakit yang berkaitan dengan jantung berisiko berlaku dalam kalangan individu yang berdepan dengan pencemaran bunyi. Sebagai contohnya, penyakit aritmia jantung, iaitu masalah yang berkaitan dengan ritma atau rentak jantung yang akan berdenyut dengan lebih laju atau perlahan jika dipengaruhi oleh pencemaran bunyi. Pada masa yang sama, kegagalan jantung juga berkait rapat dengan sindrom metabolik, yakni tekanan darah, berat badan, paras kolesterol dan gula dalam darah terganggu dan meningkat lalu menyebabkan kelumpuhan sistem badan.\nSelain masalah kesihatan, kesukaran pembelajaran dan pengawalan emosi turut diperhatikan dalam kalangan kanak-kanak yang terkesan akibat pencemaran bunyi. Hal ini dikatakan demikian kerana kanak-kanak akan lebih mudah terganggu dan hilang tumpuan apabila persekitaran mereka tidak tenang dan bising.\nMalaysia telah menetapkan garis panduan untuk mengehadkan tahap bunyi pada 65 dB pada waktu siang dan 55 dB pada waktu malam. Antara inisiatif kerajaan dalam menangani masalah pencemaran bunyi termasuklah dengan memasang penghadang bunyi, iaitu dinding tinggi yang diperbuat daripada besi dan konkrit di sekitar lebuh raya.\nDalam konteks ini, penghadang bunyi yang semakin tinggi akan lebih berkesan mengurangkan pencemaran bunyi walaupun pencemaran itu tidak dapat dihilangkan sepenuhnya. Terdapat juga penghadang bunyi yang dipasang di kawasan perumahan.\nSecara umumnya, dinding yang panjang dan luasnya sebanyak tiga meter kali tiga meter boleh mengurangkan bunyi bising. Dinding batu bata telah dipilih untuk digunakan sebagai penghadang bunyi kerana mempunyai ketumpatan yang lebih tinggi dan jauh lebih baik berbanding dengan kayu pepejal.\nPada tahap individu, hingar putih (white noise) ialah satu daripada cara untuk menangani masalah pencemaran bunyi. Hingar putih boleh diterjemahkan kepada koleksi bunyi yang mempunyai intensiti yang sama dan sesuai untuk menyamarkan bunyi bising (sound-masking effect). Hingar putih juga dikenali sebagai monoton yang berulang, bernada rendah dan seolah-olah bunyi atau dengungan.\nHingar putih merupakan kombinasi pelbagai bunyi daripada frekuensi berlainan yang mampu didengari oleh telinga manusia. Hingar putih juga merupakan gabungan semua warna spektrum yang boleh dilihat. Kesan penyamaran yang telah dicipta oleh hingar putih mampu menghalang bunyi lain, sekali gus memastikan seseorang itu mendapat tidur yang lena dan berkualiti.\nSelain hingar putih, hingar merah jambu (pink noise) juga kerap digunakan bagi tujuan yang sama. Hingar merah jambu mempunyai frekuensi yang lebih rendah dan lebih menenangkan kerana bunyinya yang kurang bingit, misalnya bunyi air terjun, air sungai yang mengalir dan bunyi rintik hujan, berbeza dengan hingar putih yang lebih cenderung berbunyi seakan-akan televisyen statik.\nWalau bagaimanapun, hingar putih telah dibuktikan mempunyai pelbagai kebaikan seperti digunakan sebagai alat bantuan tidur agar seseorang itu memperoleh tidur yang lebih nyenyak. Hal ini dikatakan demikian kerana telinga manusia lebih cenderung untuk mendengar bunyi hingar putih dan tidak akan mendengar bunyi bising lain yang mengganggu tidur.\nHingar putih mampu menambah baik aktiviti deria, ingatan dan fungsi kognitif, terutamanya dalam proses tumbesaran kanak-kanak. Hingar putih turut digunakan untuk merawat kanak-kanak yang mengalami gangguan hiperaktif kurang daya tumpuan (ADHD). Hingar putih terbukti dapat membantu menambah baik penggunaan bahasa, bacaan dan penulisan kanak-kanak ADHD.\nBerdasarkan kajian yang dilakukan oleh Batho dan rakan sekerjanya pada tahun 2015, beberapa orang kanak-kanak telah diberikan tugasan bersama-sama tiga jenis keadaan bunyi bising yang berbeza, iaitu keadaan senyap, keadaan dengan hingar putih sebanyak 70 dB dan keadaan yang disertakan dengan perkataan rawak atau bebelan. Kajian tersebut mendapati bahawa kanak-kanak ADHD yang mendengar hingar putih mampu menulis lebih banyak perkataan dan membaca dengan laju.\nPada tahun 2016 pula, Soderlund dan rakan sekerjanya melakukan kajian yang melibatkan 20 orang kanak-kanak ADHD dan\u00a020 orang kanak-kanak biasa yang diuji dengan rangsangan dan tanpa rangsangan hingar putih . Mereka diberikan tiga jenis tugasan yang berlainan. iaitu mengingat kembali perkataan, papan span board dan verbal 2-back. Hasil kajian menujukkan bahawa kanak-kanak ADHD memperoleh kesan positif daripada hingar putih bagi melaksanakan dua daripada tiga tugasan yang diberikan, manakala tugasan verbal 2-back tidak terpengaruh.\nSecara saintifiknya, suasana yang senyap sememangnya terbukti amat membantu manusia untuk tidur, namun manusia akan lebih cepat tidur dengan bantuan\u00a0 hingar putih dan hingar merah jambu. Bunyi bising daripada hingar ini ialah cara terbaik untuk menghalang bunyi bising yang lain daripada mengganggu tidur.\nHingar putih boleh diperoleh dengan mudah dan percuma di aplikasi YouTube atau aplikasi lain. Walau bagaimanapun, hingar putih atau hingar merah jambu perlu digunakan secara berhati-hati. Hal ini dikatakan demikian kerana kelantangan hingar yang terlalu kuat akan merosakkan deria pendengaran.\nBertambah teruk lagi apabila bunyi latar belakang yang berterusan berkemungkinan boleh membahayakan otak dengan merangsang korteks pendengaran secara berlebihan. Oleh sebab itu, penggunaan hingar ini perlu diawasi agar dapat faedahnya dapat menikmati dan penggunaannya tidak mencederakan pendengaran secara berlebihan.\n\u00a0\nNur Izzati Farzana Ismail (Pembantu Penyelidik) dan Goh Ying Xian (Pegawai Penyelidik) di Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI), Universiti Kebangsaan Malaysia." "KKM dan ISN Bekerjasama Tingkat Kualiti Kepakaran Perubatan Sukan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pemeteraian memorandum persefahaman antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan Institut Sukan Negara (ISN) Malaysia pada hari ini menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti kepakaran perubatan sukan negara setaraf dengan kepakaran di luar negara.\nMajlis tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg. Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Sukan Negara, Encik Ahmad Faedzal Md. Ramli.\nBerdasarkan kenyataan media bersama KKM dan ISN, usaha yang dilakukan ini dijangkakan lebih memperkasakan kerjasama antara kedua-dua belah pihak, terutamanya dari aspek perkhidmatan, latihan, penyelidikan dan penerbitan dalam bidang perubatan sukan negara.\nPemerkasaan kepakaran perubatan sukan ini bukan sahaja mampu mengurangkan kos rawatan perubatan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit, malah dapat meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan produktiviti negara serta memajukan sukan negara.\nPerkhidmatan klinikal sains sukan dan rujukan para pelanggan yang dikenal pasti antara KKM dengan ISN berdasarkan kesesuaian lokaliti, fasiliti dan keberadaan pakar perubatan sukan semasa termasuklah mengukuhkan pelibatan dan peranan ISN dan KKM sebagai sumber rujukan utama dalam bidang perubatan sukan dalam pelbagai aktiviti, acara, pertandingan atau kejohanan sukan yang diadakan ialah satu daripada aspek kerjasama yang diberikan tumpuan.\nSelain meningkatkan kemahiran dan pengalaman para pakar perubatan sukan, kerjasama ini juga dapat mengurangkan kos rawatan melalui perkongsian peralatan perubatan dan teknologi serta memudahkan rujukan pesakit yang memerlukan perkhidmatan bidang kepakaran perubatan dan sains sukan tertentu.\nMelalui memorandum persefahaman ini juga, aspek latihan dengan program latihan berstruktur dan terselia turut dibangunkan serta disesuaikan dalam bidang perubatan dan sains sukan kepada kakitangan kedua-dua belah pihak.\nSelaras dengan tujuan untuk membangunkan bidang perubatan dan sains sukan, KKM dan ISN akan mempergiatkan perkongsian kepakaran penyelidikan yang meliputi segala penyelidikan dalam bidang perubatan dan sains sukan, akses kepada data, kepentingan dalam hak harta intelek serta penerbitan hasil kajian atau pembentangan pada peringkat antarabangsa dengan persetujuan bersama.\nDengan adanya pengukuhan perubatan sukan di negara ini, masyarakat berpeluang terlibat dalam pelbagai aktiviti sukan dan fizikal secara kerap dan konsisten, membudayakan amalan hidup sihat dan seterusnya merealisasikan aspirasi negara untuk meningkatkan taraf kesihatan rakyat Malaysia." "Penyalahgunaan Ubat bagi Rawatan Mati Pucuk\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMati pucuk atau erectile dysfunction (ED) ialah keadaan perubatan bagi lelaki yang mengalami masalah ketidakupayaan memperoleh atau mengekalkan ereksi semasa aktiviti seksual.\nBerdasarkan rekod daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, tiga daripada 10 orang lelaki di negara ini mengalami ED. Satu kajian lain yang dijalankan di Malaysia pada tahun 2013 pula mendapati bahawa sebanyak 69.5 peratus lelaki yang mengalami masalah mati pucuk berusia dalam lingkungan 40 tahun hingga 79 tahun.\nPelbagai faktor boleh mengakibatkan ED termasuklah diabetes, tabiat merokok, kecederaan saraf tunjang, amalan gaya hidup tidak sihat dan pengambilan ubat tanpa arahan dan nasihat daripada \u00a0doktor atau ahli farmasi. Masalah ini boleh menyebabkan seseorang yang mengalaminya kekurangan keyakinan diri dan emosi turut terganggu.\nRawatan Mati Pucuk\nTerdapat lebih daripada 55 jenis ubat yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digunakan bagi rawatan ED. Pesakit dinasihatkan untuk segera berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan seawal mungkin. Sildenafil, Tadalafil dan Vardenafil merupakan antara ubat dalam rawatan ED yang tergolong dalam kumpulan ubat phosphodiesterase inhibitors (PDE).\nUbat ini meningkatkan pengaliran darah ke zakar dengan kehadiran rangsangan seksual bagi membantu lelaki mendapatkan dan mengekalkan ereksi. Doktor akan memberikan dos yang bersesuaian dengan keadaan pesakit setelah penilaian klinikal dilakukan.\nDi sebalik manfaat ubat untuk rawatan mati pucuk ini, terdapat juga kesan sampingan yang mungkin boleh berlaku kepada pesakit seperti sakit kepala, sakit dada, badan terasa panas, sukar tidur serta kebas kaki dan tangan. Kesan sampingan tersebut boleh menjadi lebih teruk sehingga menyebabkan kesukaran bernafas, pendarahan hidung, ngilu ketika membuang air kecil dan ereksi yang menyakitkan.\nOleh sebab itu, adalah penting bagi pesakit untuk mematuhi dos yang dipreskripsikan dan arahan pengambilan yang diberikan oleh doktor. Pesakit juga perlu memaklumkan kepada doktor atau ahli farmasi jika terdapat sebarang masalah berkenaan dengan pengambilan ubat tersebut.\nProduk Dicemari Racun\nBanyak individu yang mengalami masalah ED belum bersedia untuk mendapatkan rawatan daripada doktor dan lebih cenderung untuk menggunakan kaedah alternatif seperti menggunakan produk minuman, produk sapuan, suplemen tradisional dan rawatan herba yang sering diiklankan secara dalam talian.\nLazimnya, pengguna mudah terpengaruh dengan iklan produk peningkat tenaga batin yang menggunakan tuntutan melampau seperti mujarab, ajaib, pasti berkesan dan tiada kesan sampingan. Mereka yang tidak mempunyai sebarang masalah seksual juga terjebak dalam menggunakan produk yang dicampurkan dengan bahan terlarang ekoran terpedaya dengan tuntutan menambah tenaga dan meningkatkan prestasi ketika melakukan hubungan intim dengan pasangan.\nKKM melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi sentiasa melakukan risikan dan serbuan terancang bagi merampas produk yang disyaki dicemarkan dan dipalsukan dengan ubat terkawal Sildenafil dan Tadalafil. Produk terlarang yang dirampas ini biasanya dijual dalam bentuk gula-gula, minuman kopi pracampuran dan makanan tambahan.\nSelain itu, penyalahgunaan ubat terkawal tanpa pengawasan boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi yang boleh memudaratkan kesihatan pengguna kerana jumlah dos ubat yang dicampurkan tidak diketahui. Pengguna yang menggunakan produk yang mengandungi bahan terlarang ini berisiko untuk mengalami masalah kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah secara mendadak dan mendapat serangan jantung. Oleh itu, jadilah pengguna yang bijak dengan mendapatkan rawatan dan ubat daripada sumber yang betul.\nPanduan Umum Pembelian Produk Berdaftar\nSemua ubat dan suplemen perlu berdaftar dengan KKM bagi menjamin kualiti dan keselamatan produk. Produk yang berdaftar dengan KKM perlu memaparkan nombor pendaftaran dan label keselamatan hologram pada kotak pembungkusan ubat sebagai rujukan kepada pengguna.\nNombor pendaftaran dimulakan dengan MAL, diikuti dengan lapan digit dan huruf A, X, T atau N. Nombor pendaftaran ubat terkawal diakhiri dengan huruf A, manakala bagi ubat\u00a0 am, nombor pendaftarannya diakhiri dengan huruf X. Sementara itu, nombor pendaftaran ubat tradisional berakhir dengan huruf T, manakala huruf N mengakhiri nombor pendaftaran suplemen kesihatan.\nSemakan kesahihan nombor pendaftaran produk boleh dilakukan melalui laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) atau melalui aplikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun dalam telefon pintar. Label keselamatan hologram pula boleh disemak dengan menggunakan pengimbas FarmaTagTM yang terdapat di farmasi komuniti terpilih atau menggunakan aplikasi FarmaChecker. Elakkan pembelian ubat secara dalam talian bagi masalah kesihatan yang memerlukan penilaian oleh doktor. Pengguna dinasihatkan untuk menggunakan ubat yang berdaftar bagi mengelakkan sebarang kemudaratan.\nSekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).\n\u00a0\nAhmad Najib Ahmad Afandi, Pegawai Farmasi di Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor." "MARDI Lancar Kit Buku MYSaveFood Ramadan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bersama-sama Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia telah melancarkan Kit Buku Malaysia Save Food (MYSaveFood) Ramadan dan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah MARDI, YBrs. Dr. Asfaliza Ramli, baru-baru ini.\nPelancaran Kit Buku MYSaveFood Ramadan adalah untuk melaksanakan program MYSaveFood di bazar Ramadan dengan lebih sistematik mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.\nDalam satu kenyataan daripada media sosial rasmi MARDI, buku panduan tersebut dibahagikan kepada beberapa bahagian yang memaparkan SOP bagi menjalankan aktiviti di bazar Ramadan seperti aliran kerja sukarelawan di tapak projek, skop tugasan sukarelawan berdasarkan aliran kerja, skop tugasan ketua bazar, SOP bagi setiap proses dan cara penggunaan aplikasi projek.\n\u201cProjek MYSaveFood Ramadan ialah satu daripada inisiatif pengurusan sisa makanan di bazar Ramadan secara berstrategi dalam usaha menyelamatkan lebihan makanan dan minuman yang tidak berjaya dijual oleh peniaga bazar,\u201d jelas MARDI dalam kenyataan tersebut.\nOleh yang demikian, buku panduan tersebut ialah satu hab informasi lengkap yang sesuai untuk dijadikan rujukan kepada penganjur, ketua bazar dan para sukarelawan.\nObjektif program tersebut adalah untuk membudayakan satu sistem pengurusan sisa makanan efektif di bazar Ramadan dalam usaha mengurangkan pembaziran sisa makanan yang berlaku dalam kalangan peniaga bazar Ramadan serta membantu mengurangkan penghasilan gas metana yang memberikan kesan kepada pemanasan global.\nCetusan idea projek MYSaveFood Ramadan bermula di Kampung Baru pada tahun 2016 melalui inisiatif belia tempatan, iaitu Encik Mohamad Rahimi Adnan dengan disokong dan dibantu oleh Pemuda GEMA.\nProjek ini kemudiannya telah dijadikan sebagai satu daripada inisiatif utama di bawah program MYSaveFood oleh MARDI dan telah berkembang dari tahun 2016 hingga kini di bawah kelolaan Pemuda GEMA.\nKredit gambar: Facebook rasmi MARDI" "KBS Wujudkan Direktori Fasiliti Sukan untuk Kemudahan Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Direktori fasiliti sukan dengan menyenaraikan inventori kemudahan yang dimiliki dan dikendalikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membolehkan orang ramai mengakses dan membuat carian daripada senarai fasiliti yang sedia ada mengikut lokasi dan jenis sukan yang berbeza.\nSebanyak 1135 fasiliti disenaraikan dalam laman sesawang KBS yang boleh diakses oleh orang ramai untuk mengenal pasti kemudahan yang bersesuaian dan berdekatan serta membolehkan pemadanan dilakukan antara keperluan persatuan sukan dengan kemudahan yang tersedia untuk digunakan.\nBerdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh KBS, direktori fasiliti sukan ini disediakan adalah untuk menangani isu kekurangan kemudahan latihan yang dibangkitkan oleh persatuan sukan.\nPada masa yang sama, kewujudan direktori ini bertujuan untuk menilai sama ada terdapat percanggahan dalam infrastruktur merentas kawasan parlimen yang mewujudkan ketakpadanan antara kemudahan dengan keperluan mengikut lokasi dan jenis sukan.\nSelain itu, direktori yang diwujudkan ini juga adalah bagi menggalakkan penggubal undang-undang untuk menjadi lebih strategik apabila membangkitkan isu infrastruktur di parlimen.\nSusulan itu, untuk mengelakkan isu projek pembangunan ad hoc sebelum ini yang dibina disebabkan oleh kekurangan perancangan serta membolehkan penggunaan dana yang sewajarnya bagi pembangunan infrastruktur pada masa hadapan juga adalah matlamat utama dalam kewujudan direktori fasiliti sukan berkenaan.\nPembangunan direktori itu adalah sepadan dengan rangka kerja Malaysia MADANI bagi menggalakkan tadbir urus yang baik, mencegah ketirisan dan menamatkan kelemahan serta pengurusan yang lemah.\nPengemaskinian terhadap direktori fasiliti sukan tersebut akan dilakukan dari semasa ke semasa dengan memasukkan lebih banyak fasiliti yang disediakan oleh pihak kerajaan di seluruh negara." "Inovasi E-komik dalam Pendidikan Sains\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPendidikan sains memainkan peranan penting dalam membentuk generasi masa hadapan yang berdaya saing dan mampu menghadapi cabaran dunia moden yang semakin kompleks. Dalam era digital ini, penggunaan teknologi dalam proses pembelajaran semakin diperlukan bagi memenuhi kehendak pelajar masa ini yang lebih cenderung menggunakan media digital dalam pembelajaran.\nE-komik ialah inovasi yang semakin popular dalam pendidikan sains. Penggunaan e-komik dalam kelas sebagai bahan bantu pembelajaran dapat meningkatkan kualiti pendidikan sains dengan memberikan ruang untuk pembelajaran sains yang lebih menarik dan efektif melalui kombinasi antara elemen sains dengan elemen seni secara bersistematik.\nSecara umumnya, e-komik merujuk bahan visual dan teks dalam bentuk digital yang boleh diakses dan dibaca secara dalam talian melalui peranti elektronik seperti telefon pintar, komputer tablet dan komputer. Berbanding dengan komik tradisional, e-komik mempunyai banyak kelebihan seperti interaktif dan mudah dikongsi melalui pautan dan kod QR.\nKajian tentang e-komik dalam konteks pendidikan sains sering menunjukkan maklum balas yang positif apabila komik tersebut dibangunkan berdasarkan panduan sukatan pelajaran secara bersistematik. Memandangkan e-komik dapat membantu memperkukuh pemahaman konsep sains dan meningkatkan minat pelajar dalam mempelajari sains, maka pembangunan e-komik yang berkualiti bukan sahaja memerlukan kepakaran guru dalam pedagogi dan ilmu kandungan, malah kompetensi guru dalam teknologi digital juga adalah amat penting.\nE-komik yang dimanfaatkan sebagai bahan pembelajaran sering menggunakan teknik papan cerita yang bercirikan penggunaan karakter serta perjalanan karakter tersebut dalam satu ruang simulasi. Sebagai contohnya, e-komik berkenaan homeostasis (Rajah 1) memanfaatkan peranan tiga watak utama yang mengembara dalam pelbagai situasi bagi menjelaskan proses homeostasis dalam keadaan simulasi fizikal yang berbeza-beza.\nPengolahan papan cerita yang bersesuaian dengan kandungan pembelajaran sains yang diwakili oleh beberapa watak khusus memberikan pemahaman tentang konsep sains secara santai. Teknik inilah yang memberikan peluang kepada pelajar untuk menghayati olahan jalan cerita melalui simulasi visual dan teks yang bersesuaian bagi memahami proses sains yang kompleks secara kontekstual di samping membantu pelajar untuk lebih memahami konsep sains itu berfungsi dalam dunia sebenar.\nSecara spesifiknya, e-komik dapat membantu memberikan pengvisualan yang lebih baik bagi konsep sains yang kompleks serta istilah saintifik yang sukar dihafal. Melalui penggunaan gambar dan grafik dalam e-komik, pelajar berpeluang untuk memahami perkaitan antara proses saintifik dengan istilah khusus melalui carta alir, diagram saintifik, peta serta gambar.\nSebagai contohnya, e-komik dalam Rajah 2 menunjukkan penggunaan carta alir seiring dengan penjelasan tentang osmosis dalam tumbuh-tumbuhan. Pada masa yang sama, proses sains serta istilah yang khusus juga dapat diterangkan secara jelas dan terperinci.\nWalaupun kebanyakan e-komik dimanfaatkan melalui bacaan kendiri, namun e-komik boleh membantu dalam pembelajaran kolaboratif dan kreatif. Guru dapat menggalakkan pelajar menghasilkan nota sains berbentuk e-komik mereka sendiri dengan menggunakan teknologi dan aplikasi yang mudah diakses seperti Canva dan Adobe Spark. Kaedah ini memberikan peluang kepada pelajar untuk melibatkan diri dalam proses pengajaran dan pembelajaran sains.\nSelain itu, e-komik dapat digunakan sebagai alat pemulihan dalam pengajaran sains, memungkinkan pelajar untuk mengulang kandungan pembelajaran dengan cara yang berbeza. Keupayaan kepelbagaian media juga dapat diterapkan dalam pembangunan e-komik seperti penggunaan sari kata beraudio, muzik, realiti terimbuh, realiti maya serta gamifikasi.\nBagi menyokong aplikasi teknologi digital secara optimum dalam pendidikan sains, guru mata pelajaran perlu dilengkapkan dengan keupayaan kompetensi digital bukan sekadar sebagi pengguna, malah sebagai pembangun bahan pembelajaran berkualiti. Hal ini perlu diberikan perhatian oleh institusi latihan guru dengan menyediakan kepakaran serta ekosistem pembelajaran yang mengutamakan pembangunan inovasi digital dalam pendidikan oleh guru sendiri.\nGuru juga perlu diberikan ruang untuk mengetengahkan bahan pembelajaran digital yang dibangunkan sendiri melalui pertandingan inovasi sehingga mendapat pengiktirafan dari dalam dan luar negara. Oleh hal yang demikian, potensi penggunaan bahan pembelajaran digital seperti e-komik dalam pengajaran sains dapat memberikan nilai tambah yang baik dalam ekosistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah melalui pembangunan bahan pembelajaran oleh guru sendiri.\n\u00a0\n*E-komik dalam artikel ini dibangunkan oleh guru dalam latihan mengikut sukatan pelajaran kebangsaan. Rajah 1 merupakan sebahagian daripada e-komik yang dibangunkan oleh Nur Aisya Nadira Muhd Zailani, manakala Rajah 2 pula dihasilkan oleh Nurhanani Aqilah Yahya.\nDr. Zainun Mustafa, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris" "HODK Terima Sumbangan Peralatan Perubatan daripada YTSP dan Rakan Strategik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSandakan \u2013 Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bersama-sama rakan strategiknya menyumbangkan pelbagai peralatan perubatan kepada Hospital Duchess of Kent (HODK), Sandakan, Sabah.\nPada masa yang sama, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan tersebut ketika berangkat menyempurnakan pembukaan wad pediatrik di hospital berkenaan yang dijenamakan sebagai \u201cWad Kanak-kanak Tuanku Syed Putra\u201d, baru-baru ini.\nKeberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah HODK, YBrs. Dr. Mohd Fahmie Datuk Dr. Othman.\nSebanyak dua unit monitor tanda vital daripada Mutiara Perlis Sdn. Bhd. disumbangkan oleh Encik Wan Ahmad Zaheed Wan Mohamad, manakala tiga unit oftalmoskop mudah alih disumbangkan oleh YBhg. Dato\u2019 Mohd Redza Shah Abdul Wahid yang mewakili E.A Technique Berhad serta satu unit peti ais ubat-ubatan (315 liter) pula disumbangkan oleh KPJ Berhad.\n\u00a0\nSelain itu, Profound Radiance Sdn. Bhd. melalui YBhg. Datuk Azlan Shah Jaffril pula menyumbangkan dua unit set otoskop dengan lampu HD, satu unit mesin sedutan\u00a0dan satu unit pengusung kepada HODK.\nTidak ketinggalan juga, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor menyerahkan sumbangan wakaf peralatan berbentuk mesin elektrokardiogram dan kerusi roda serta wang tunai kepada pesakit di wad kanak-kanak dan wad bersalin.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Pengerusi YTSP Perlis juga berkenan beramah mesra dengan para pesakit dan menitahkan bahawa baginda yakin para petugas kesihatan akan memberikan perkhidmatan yang cemerlang untuk merawat kanak-kanak di daerah Sandakan dan sekitarnya dengan adanya pembukaan wad kanak-kanak tersebut.\n\u201cPerkara yang paling penting adalah untuk memastikan perkhidmatan kepakaran perubatan, terutamanya dalam bidang kanak-kanak lebih dekat kepada komuniti bagi meningkatkan tahap kesihatan warga tempatan serta membolehkan penduduk setempat mendapat perkhidmatan perawatan dan kesihatan yang bertaraf tinggi seperti hospital pakar yang lain,\u201d titah baginda lagi." "Hebahan Ikan Tilapia Tidak Selamat Dimakan adalah Palsu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Hebahan mengenai ikan tilapia tidak selamat untuk dimakan dan menyebabkan penyakit seperti kanser melalui WhatsApp berbentuk poster adalah palsu yang ditularkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab bagi mengundang kebimbangan kepada pengguna di negara ini.\nDakwaan yang menyatakan bahawa ikan tilapia merupakan ikan yang tidak bertulang dan tiada kulit ialah satu dakwaan yang tidak berasas kerana terdapat negara yang menggunakan kulit tilapia untuk membuat dompet, tali, beg duit dan kasut.\n\u201cUsah mudah terpengaruh dengan hebahan palsu seperti ini kerana hal ini boleh menjejaskan industri akuakultur negara,\u201d kata Ketua Pengarah Perikanan, YBhg. Dato\u2019 Adnan Hussain dalam satu kenyataan.\n\u00a0Jumlah pengeluaran ikan tilapia bagi tahun 2021 adalah sebanyak 37 609 tan metrik yang menyumbang kepada pendapatan negara sebanyak RM380 juta. Berdasarkan data daripada Perangkaan Tahunan Perikanan Tahun 2021, pengeluaran akuakultur ikan tilapia adalah antara penyumbang sekuriti makanan yang tertinggi selain ikan keli dan ikan patin.\nIkan tilapia merupakan ikan yang diternak dengan pemberian makanan rumusan ikan menggunakan sumber protein daripada ikan dan tumbuhan seperti terubah suai genetik (GM) soya dan jagung yang digunakan dalam makanan rumusan ikan bagi mengurangkan penggunaan tepung ikan serta mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa Norway dan European Union.\nSetakat ini, tiada laporan berkaitan dengan kesan negatif kepada manusia yang memakan ikan tilapia yang diberikan makanan GM soya atau jagung dilaporkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), CODEX dan Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (USFDA) selaku organisasi yang bertanggungjawab dalam memastikan sama ada ikan tilapia adalah selamat ataupun tidak selamat dimakan oleh pengguna.\nDakwaan bahawa tilapia mengandungi dioksina, iaitu sejenis bahan sampingan yang terbentuk melalui hasil proses kimia juga sebenarnya boleh terhasil daripada kejadian semula jadi seperti letusan gunung berapi dan kebakaran hutan.\nSituasi ini akan mengakibatkan ikan ternakan di dalam air yang tercemar dengan bahan ini akan berkumpul di dalam isi ikan tersebut, sama ada ikan tilapia mahupun jenis ikan yang lain.\nOleh hal yang demikian, pemilihan sesuatu kawasan ternakan yang bebas daripada bahan kimia adalah penting untuk mengelakkan ikan daripada tercemar dengan unsur bahaya.\nJabatan Perikanan juga telah memantau sebanyak 200 ladang akuakultur yang mempunyai sijil Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dan kawalan penyakit bagi menjamin kualiti pengeluaran sumber akuakultur di negara ini." "Pakar Perunding O&G Malaysia Unggul Menerajui Penyelidikan Kanser Serviks\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi (O&G) Universiti Malaya, YBrs. Profesor Dr. Woo Yin Ling telah berjaya mengharumkan nama Malaysia setelah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Berprestij Rachel Pearline 2023 atas sumbangan beliau dalam meningkatkan bidang penyelidikan dan amalan kanser di negara berpendapatan rendah dan sederhana.\nBeliau telah mengkonseptualisasi dan melaksanakan program removing obstacles to servical screening (ROSE), iaitu program saringan ujian serviks kendiri kepada para wanita yang mampu dilakukan dengan sangat cepat serta tidak menyakitkan.\nDi Malaysia, kanser serviks ialah kanser ketiga paling umum dalam kalangan wanita dan 99 peratus kes kanser serviks adalah berpunca daripada papilomavirus manusia (HPV) berisiko tinggi.\nLebih membimbangkan, kajian yang dijalankan di negara Asia Tenggara pada tahun lalu menunjukkan bahawa jumlah kes baharu dan kadar kematian disebabkan oleh kanser serviks dianggarkan meningkat, masing-masing sebanyak 64 peratus dan 87 peratus pada tahun 2040.\nJangkaan peningkataan kes kanser serviks tersebut memberikan implikasi kewangan dan masalah kesihatan yang besar kepada Malaysia walaupun telah menjalankan program vaksinasi HPV kebangsaan dan pap smear, namun sambutan daripada orang ramai adalah kurang memberangsangkan.\nDengan adanya pelaksanaan program ROSE, ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) HPV dapat dijalankan secara kendiri dan keputusannya akan dimaklumkan menerusi platform e-kesihatan digital melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau WhatsApp.\nPada masa yang sama, program ini juga membolehkan pelaksanaan saringan kanser serviks nasional dijalankan dengan skala besar, melibatkan kos yang efektif serta dapat dijalankan di seluruh Malaysia.\nDalam usaha membanteras kanser serviks di negara ini, program ROSE berjaya menyaring sebanyak lebih daripada 23 000 orang wanita sejak pelancarannya pada tahun 2019.\nUntuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan program ROSE, sila layari laman sesawang ROSE." "Urusan Kerajaan di Luar Negara Menggunakan Bahasa Melayu \u2013 Perdana Menteri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan semua urusan melibatkan luar negara termasuklah surat-menyurat mesti menggunakan bahasa Melayu. Perkara itu dimaklumkan oleh YAB Perdana Menteri, ketika berucap merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma DBP, pada pagi ini.\n\u201cSemua urusan kerajaan di luar negara perlu menggunakan bahasa Melayu. Saya sendiri menghantar surat kepada para pemimpin dunia menggunakan bahasa Melayu dengan terjemahan bahasa Inggeris sebagai lampiran,\u201d ucapnya di hadapan ratusan hadirin dari dalam dan luar negara yang hadir ke Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu.\n\u201cSaya juga telah memulakan rundingan dua hala dengan menggunakan bahasa Melayu, tidak ada cacatnya rundingan tersebut melalui penggunaan bahasa Melayu. Dalam persidangan juga, saya menggunakan bahasa Melayu, khususnya sewaktu sidang khas ASEAN bersama-sama Presiden Amerika (AS), Joe Biden. Ternyata, mesej yang saya sampaikan jelas diterima oleh Presiden AS walaupun saya berbahasa Melayu,\u201d ucap Perdana Menteri." "Kentang Angin: Tumbuhan Liar dan Mudah Ditanam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKentang angin (Dioscorea bulbifera) juga dipanggil ubi tum, ubi katak, buah barah dan buah sambung hayat. Tumbuhan monokotiledon dan diesius ini dikategorikan sebagai satu daripada spesies tumbuhan herba ubatan di Malaysia. Spesies tumbuhan liar ini berasal dari negara di kawasan tropika Afrika, Asia dan Amerika Selatan.\nKentang angin merupakan satu daripada spesies dalam famili Dioscoreaceae, order Dioscoreales dan genus Dioscorea yang mempunyai kira-kira 600 spesies di seluruh dunia. Terdapat beberapa sinonim yang pernah digunakan untuk spesies ini, iaitu Dioscorea alata var. bulbifera, Dioscorea hispida dan Dioscorea nummularia.\nKentang angin membiak secara seksual melalui biji dan secara vegetatif melalui ubi bawah tanah dan udara (bulbil) yang membolehkannya membiak dengan cepat.\nUbi atau bulbil ini berbentuk seperti ubi kentang kecil yang bujur dengan warna dan struktur yang sangat menyerupai ubi kentang. Ciri inilah yang memberikan nama tempatan kepada spesies ini. Ubi bagi spesies ini juga terkenal dengan rasa masin dan pahit.\nSpesies tumbuhan memanjat ini boleh tumbuh setinggi 20 meter. Tumbuhan ini berdaun tunggal dan tersusun secara berselang. Daunnya juga berbentuk agak bulat seperti jantung dengan panjang daun dalam julat 15 sentimeter hingga 20 sentimeter dan lebar antara tujuh sentimeter hingga 14 sentimeter. Tepi daun ini rata atau licin dengan tulang daun yang melengkung.\nSpesies ini mempunyai potensi untuk pasaran di dalam negara dan untuk dieksport ke keluar negara termasuklah di Eropah, Amerika Utara dan Asia Tenggara. Kentang angin boleh dijual dalam bentuk segar atau diproses seperti tepung atau kerepek ubi.\nKegunaan kentang angin dalam perubatan tradisional telah lama direkodkan, malah spesies ini mempunyai potensi yang sangat besar dalam bidang ini. Pengamal perubatan tradisional Cina mengatakan D. bulbifera telah digunakan secara meluas untuk merawat beberapa penyakit seperti hemoptisis, goiter, jangkitan kulit, orkitis, faringitis dan kanser. Beberapa analisis fitokimia juga telah menunjukkan kehadiran bahan fitokimia yang dikaitkan secara langsung dengan amalan perubatan tradisional yang berbeza.\nBulbil D. bulbifera digunakan sebagai makanan. Khasiat bagi setiap 100 gram bahagian bulbil yang boleh dimakan boleh dirujuk pada Jadual 1. Kaedah penyediaan bulbil untuk dimakan adalah berbeza-beza mengikut masyarakat.\n\u00a0\nJadual 1 Khasiat bagi setiap 100 gram bahagian bulbil D. bulbifera yang boleh dimakan.\n\nPada kebiasaannya, bulbil yang diambil daripada D. bulbifera yang tumbuh liar dikupas, dihiris, dicuci, direbus dalam tempoh lama. Kadangkala, bulbil ini masih perlu direndam dalam air yang mengalir untuk membuang bahan toksik sebelum boleh dimakan.\nDi Jawa, bulbil daripada tumbuhan yang ditanam boleh dimakan selepas dikupas dan dimasak. Ubi bawah tanah yang dihasilkan melalui pokok yang ditanam boleh dimakan, namun ubi daripada pokok yang tumbuh liar beracun akan menyebabkan rasa loya.\nOrang asli Semang di Semenanjung Malaysia memarut ubi kentang angin dan mengaulnya dengan kapur dalam tempurung kelapa untuk membentuk doh. Doh itu kemudiannya dibalut dengan daun pisang dan dibakar atau ditanam di dalam tanah dan dibiarkan untuk ditapai.\nPes yang ditapai akan disimpan selama seminggu. Doh yang dibakar dipanggil kleb, manakala doh yang ditapai dipanggil koyi. Bulbil dan ubi kadangkala digunakan untuk menghasilkan kanji dan tepung.\nUbi atau tuber (bulbil) D. bulbifera dipanggang dan dimasak sebagai sayuran dan mampu mengubati batuk, disentri, buasir, ulser, kencing manis, kusta dan sifilis. Selain itu, kentang angin juga dilaporkan mempunyai steroid dan diosgenin yang digunakan untuk menghasilkan hormon steroid sintetik seperti pil perancang. Kentang angin juga digunakan dalam ubat-ubatan tradisional di Asia, Afrika dan Amerika Latin untuk merawat cirit-birit, disentri, konjunktivitis, keletihan dan kemurungan.\nLaporan daripada Uganda menyatakan ubi D. bulbifera direbus dan dimakan oleh penduduk tempatan untuk merawat pesakit virus imunodefisiensi manusia (HIV). Namun begitu, kajian meluas dan terperinci mengenai kegunaan ini masih belum dibuktikan sepenuhnya. Ranting dan pucuknya yang lembut juga boleh dihancurkan dan disapukan pada rambut untuk menghilangkan kelemumur.\nSementara itu, daun spesies ini digunakan dalam sistem tradisional untuk rawatan penyakit kulit selain kencing manis, darah tinggi dan batu karang.\nDalam bidang etnoperubatan, kentang angin telah digunakan dalam sistem perubatan tradisional dan untuk aktiviti kajian farmakologi. Spesies D. bulbifera juga digunakan untuk beberapa aktiviti biologi, terutamanya disebabkan oleh sebatian aktif farmakologi.\nAntara bahan fitokimia dan aktiviti biologi yang terdapat dalam spesies ini termasuklah daukosterol (sebagai antikanser), mirisetin (sebagai promosi antitumor dan neuroprotective), asid vanilik (sebagai antihipertensi dan antioksidan) dan kuersetin (sebagai neuroprotective, antibakteria, antiradang, antivirus, antipenuaan dan antioksidan).\nUbi daripada bahagian akar spesies ini boleh dimakan dan diproses menjadi makanan seperti tepung ubi keledek atau tepung. Walau bagaimanapun, kajian ketoksikan semasa menunjukkan adanya had terhadap potensi terapeutik sebelum boleh digunakan bagi tujuan ubatan.\nKentang angin boleh dibiakkan melalui biji atau ubinya. Spesies ini sesuai ditanam dan hidup subur di kawasan tropika. Kaedah penanamannya boleh dilakukan dengan merendamkan biji benih dalam air selama 24 jam hingga 48 jam sebelum ditanamkan di tanah yang telah digembur.\nUbi yang digunakan sebagai benih mestilah dipilih daripada tumbuhan yang sihat dan bebas daripada penyakit. Biji benih dan ubi boleh ditanam di dalam tanah yang subur dan gembur dengan pH tanah sekitar 5.5 hingga 6.5. Biji benih juga boleh ditanam di dalam lubang sedalam 10 sentimeter hingga 15 sentimeter dengan jarak antara lubang kira-kira 60 sentimeter.\nKentang angin memerlukan sokongan untuk memastikan tumbuhan ini tumbuh tegak. Maka itu, batang kayu, besi atau buluh boleh digunakan bagi tujuan ini. Pada kebiasaannya, tumbuhan yang sihat dan kuat boleh merebak dengan cepat dan meliputi kawasan tanah yang luas.\nPenanaman tumbuhan ini boleh dilakukan lebih baik pada musim hujan berbanding dengan kemarau. Kentang angin juga lebih sesuai ditanam di negara beriklim tropika yang panas dan lembap. Selain pembiakan menggunakan biji atau ubi, spesies ini juga boleh ditanam dan dibiakkan melalui keratan batang.\nFasa dorman bulbil yang paling ketara adalah sejurus selepas penuaian dan mula menurun secara berterusan dengan masa, terutamanya semasa dalam simpanan. Percambahan bulbil dirangsang oleh eksogen bagi benzil adenina atau asid asetik indola.\nSemakin besar bulbil atau kepingan bulbil yang digunakan untuk penanaman, semakin teguh tumbuhan yang dihasilkan. Bulbil yang lebih tua menjadi matang apabila bulbil yang baharu muncul. Oleh sebab itu, penuaian berulang adalah perlu untuk mengeluarkan bulbil yang matang.\nPenuaian ubi utama berlaku antara sembilan bulan hingga 24 bulan selepas penanaman, yakni apabila keseluruhan tumbuhan menjadi tua. Bagi spesies lain, ubi dituai daripada pokok liar atau pokok yang ditanam dengan menggunakan alat penggali manual.\nSesetengah tumbuhan mungkin sengaja dibiarkan tumbuh selama dua tahun hingga tiga tahun sebelum dituai. Sekiranya spesies ini ingin dikomersialkan dalam industri ubat-ubatan, kentang angin perlu ditanam sebagai tanaman kontan atau tanaman dalam skala yang besar bagi memastikan kecukupan bekalan bahan mentah." "Panduan Berpuasa bagi Warga Emas dengan Keuzuran Kognitif\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nOleh: Nurul Hidayah Md Fadzil dan Suzana Shahar\nTerkini, istilah baharu telah diperkenalkan, iaitu keuzuran kognitif yang bermaksud sindrom pra-demensia dengan kehadiran keuzuran fizikal dan kemerosotan kognitif ringan dengan kelaziman 2.2 peratus atau 11 daripada 500 orang warga emas di Malaysia.\nSecara umumnya, warga emas merupakan golongan yang terdedah dengan pelbagai penyakit fizikal dan mental, termasuklah mereka yang menghidapi keuzuran kognitif. Bagi individu yang mempunyai gejala bagi keuzuran tersebut, mereka disarankan untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar perubatan sebelum berpuasa bagi memastikan masalah kesihatan anda tidak terjejas.\nDari sudut kesihatan, berpuasa memberikan pelbagai manfaat kepada warga emas yang menghidapi keuzuran kognitif seperti mengurangkan tekanan oksidatif, menajamkan akal, menurunkan tekanan darah dan memanjangkan jangka hayat seseorang. Meskipun begitu, warga emas hendaklah berpuasa secara sihat dan betul untuk memastikan tidak terlalu cepat letih, kekal hidrasi dan daya tumpuan tidak terjejas.\nYang berikut ialah panduan yang boleh diamalkan oleh warga emas dengan keuzuran kognitif untuk kekal bertenaga pada bulan Ramadan.\n\u00a0\n1) Merancang menu sepanjang Ramadan. \nAntara gejala yang boleh diperhatikan bagi penghidap keuzuran kognitif termasuklah lemah tubuh badan, pergerakan fizikal yang terbatas dan rendah daya ingatan. Oleh itu, amatlah disarankan untuk warga emas merancang menu lebih awal sepanjang bulan Ramadan.\nPes atau stok masakan boleh disediakan bagi mengelakkan pembaziran dan menjimatkan masa penyediaan masakan. Beberapa contoh pes masakan ialah pes sambal, stok sup dan pes tomyam.\nSetiap pes masakan yang dilakukan hendaklah dilabel dengan nama pes dan tarikh luput, iaitu tiga bulan daripada tarikh penyediaan. Pes tersebut hendaklah disimpan dalam peti sejuk beku dan dikeluarkan sewaktu penggunaan.\n2) Melewatkan bersahur. \nSahur ialah amalan yang mustahak kerana boleh membekalkan tenaga bagi menjalani aktiviti harian. Sekiranya tidak bersahur, sumber bekalan tenaga seseorang akan diperoleh daripada simpanan otot dan lemak bukan glukosa yang boleh menyebabkan individu tersebut menjadi lesu dan lemah daya tumpuan.\nBagi warga emas yang mempunyai keuzuran kognitif, mereka disarankan untuk mengamalkan hidangan yang seimbang berpandukan pinggan sihat Malaysia. Pengambilan sumber karbohidrat kompleks adalah penting kerana karbohidrat ini dihadamkan sebagai pelepasan karbohidrat perlahan (slow release carbohydrate), iaitu makanan yang sumber gulanya dibebaskan secara perlahan yang membolehkan individu berpuasa bertahan beberapa jam tanpa makanan.\nDi samping membekalkan tenaga, sumber makanan ini kaya dengan serat, vitamin dan mineral. Antara contoh makanan karbohidrat kompleks termasuklah beras perang atau basmati, roti dan biskut bijirin penuh, oat, capati dan muesli.\nSelain itu, warga emas dengan keuzuran kognitif juga disyorkan untuk mengambil makanan sumber protein seperti ikan, ayam, daging, telur, kekacang, susu dan produk tenusu, tempe dan tauhu serta sayur-sayuran dan ulam-ulaman.\nMakan berprotein boleh meningkatkan horman glukagon yang membantu rasa kenyang dengan lebih lama di samping serat yang melambatkan pencernaan dan memberikan rasa kenyang yang lama.\nPengambilan kurma sewaktu bersahur juga amat digalakkan kerana mengandungi serat yang tinggi selain kaya dengan sumber mineral dan vitamin seperti kalium, magnesium dan selenium.\n3) Mempercepatkan berbuka puasa\nSewaktu berpuasa, badan telah kehabisan sumber glukosa yang diperlukan oleh otak dan sel badan. Untuk warga emas, menyegerakan berbuka puasa adalah penting bagi menggantikan semula glukosa yang digunakan.\nMereka disarankan untuk mendahulukan berbuka puasa dengan makanan karbohidrat ringkas yang dikenali sebagai pelepasan karbohidrat cepat (fast release carbohydrate). Hal ini dikatakan demikian kerana karbohidrat jenis ini seperti kurma, buah-buahan segar, jus buah asli, minuman bercoklat malta atau susu dapat memberikan tenaga segera setelah tidak makan untuk tempoh yang lama.\nWarga emas dengan keuzuran kognitif juga harus mengelakkan makanan yang tinggi dengan gula, kalori dan garam, terutamanya bagi warga emas yang mempunyai masalah kesihatan tertentu seperti kencing manis dan hipertensi.\n4) Mengambil hidangan moreh dengan sihat\nKajian mendapati bahawa warga emas yang mempunyai masalah keuzuran kognitif akan cepat kenyang, kurang selera makan dan menghadapi malpemakanan akibat perubahan fisiologi badan tinggi di samping peranan horman leptin.\nOleh itu, warga emas disarankan untuk mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi kerap.\nWarga emas dengan keuzuran kognitif dicadangkan mengambil hidangan moreh antara satu hidangan hingga dua hidangan karbohidrat seperti bubur lambuk, capati, oat dan sandwic tuna.\n5) Memastikan pengambilan air yang mencukupi \nWarga emas juga terdedah dengan risiko dehidrasi atau kurang air dalam badan. Saranan keperluan pengambilan air dalam sehari untuk warga emas adalah sebanyak enam gelas hingga lapan gelas atau 1.5 liter sehari, termasuk cecair daripada makanan.\nPengambilan minuman berkafein yang berlebihan sewaktu bersahur dan berbuka tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan individu tersebut cepat letih dan lesu. Hal ini turut membahayakan warga emas yang mempunyai penyakit jantung dan hipertensi kerana kafien boleh meningkatkan tekanan darah.\nBukan itu sahaja, minuman berkarbonat juga tidak disarankan kerana kandungan gula dan sodiumnya adalah tinggi yang boleh mendorong kepada kenaikan aras gula dalam darah.\nWarga emas boleh mengekalkan hidrasi dengan menyediakan botol dengan kapasiti 1.5 liter dan minum semasa berbuka sehingga waktu sahur pada keesokan harinya. Jangan tunggu untuk berasa haus kerana sensori haus bagi warga emas adalah tidak cekap.\nSelain air putih, minuman juga boleh digantikan dengan jus buah, teh lemon, susu bermalta dan laici kang. Walau bagaimanapun, tindakan ini perlu diberikan perhatian, terutamanya bagi warga emas yang mempunyai kencing manis.\n6) Memastikan keselamatan makanan\nSecara umumnya, keselamatan makanan pada bulan Ramadan adalah amat penting bagi mengelakkan daripada keracunan makanan. Terdapat beberapa cara untuk memastikan makanan yang disediakan oleh warga emas adalah selamat untuk dimakan.\nPertama, sebaik-baiknya warga emas dinasihatkan menyediakan makanan sendiri di rumah daripada membeli makanan di luar. Episod keracunan makanan adalah dikaitkan dengan kebersihan penyediaan makanan, tahap kebersihan individu, amalan pengedalian makanan dan tempat penjualan makanan. Sebahagian makanan pula telah disediakan terlalu awal atau tidak disimpan dalam bekas yang bersih.\nWarga emas hendaklah peka dengan makanan yang rosak seperti berubah tekstur, bau yang tidak menyenangkan, melebihi tarikh luput, berbeza rasa atau basi dan berubah warna. Jika makanan disediakan di rumah, simpan semula lebihan makanan dalam peti sejuk dan panaskan semula apabila dikeluarkan. Hidangkan makanan yang dipanaskan semula dalam tempoh empat jam.\nSecara keseluruhannya, warga emas khususnya yang mempunyai masalah keuzuran kognitif boleh mengamalkan gaya pemakanan yang sihat dan berkhasiat sewatu bulan Ramadan. Rebutlah peluang dalam bulan ini dengan mengamalkan gaya pemakanan yang seimbang bagi kekal bertenaga sepanjang melakukan ibadah, seterusnya kekal sihat dan cerdas pada usia yang berharga.\nJadual 1 Contoh senarai hidangan menu bersahur dan berbuka puasa untuk warga emas dengan keuzuran kognitif." "Hospital Pakar Regency Memperkenalkan Sistem Angiografi Dwisatah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJohor Bahru \u2013 Hospital Pakar Regency memperkenalkan Sistem Angiografi Dwisatah untuk menghasilkan imej berkualiti tinggi dengan jumlah radiasi paling rendah yang digunakan dalam situasi kecemasan atau prosedur pembedahan.\nAngiografi ialah sejenis X-ray yang digunakan untuk memeriksa saluran darah bagi membolehkan doktor meninjau sebarang masalah yang dilengkapi dengan teknologi untuk memberikan ketepatan dalam proses diagnosis dan membimbing profesional penjagaan kesihatan dalam prosedur intervensi kardiologi dan radiologi.\n\u201cSistem angiografi dwisatah direka bentuk berasaskan teknologi yang memberikan hasil diagnostik intraoperasi jitu serta mampu menghasilkan imej yang tepat semasa pembedahan,\u201d kata Perunding Radiologi Klinikal dan Radiologi Intervensi, Hospital Pakar Regency, YBrs. Dr. Yeow Kee Min.\nSistem yang mempunyai kelebihan berbanding dengan angiogram dan prosedur lazim ini menggunakan kombinasi dua pengesan berbeza yang terletak di dua kawasan berbeza yang memberikan panduan yang lebih baik semasa rawatan. Dengan adanya resolusi kontras tinggi, alat ini boleh digunakan tanpa mengira saiz pesakit. Jelasnya lagi,\nAngiografi ini menggunakan radiasi pengionan dengan dos radiasi yang boleh menimbulkan bahaya jika dosnya terlalu tinggi. Dengan Sistem Angiografi Dwisatah, profesional penjagaan kesihatan boleh mendapatkan imej yang berkualiti tinggi menggunakan pengimejan tiga dimensi (3D) termaju dan visualisasi butiran seperti salur darah, peranti, tisu dan tulang tanpa memerlukan dos radiasi yang lebih tinggi.\nSelain itu, Angiografi Dwisatah menyediakan teknologi untuk melakukan angiografi invasif minimum yang lebih pantas dan pada dos radiasi yang rendah kepada doktor dan pesakit berbanding dengan alat angiografi konvensional. Sistem ini juga mampu menambah baik diagnosis dan rawatan kes yang sukar seperti penyakit jantung koronari yang menjadi punca sekundar kematian dalam kalangan rakyat Malaysia. Teknologi ini juga berkeupayaan untuk menambah baik hasil klinikal bukan sahaja untuk penyakit arteri koronari tetapi juga untuk rawatan strok dan tumor.\nMenurut Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman, Hospital Pakar Regency, Dr. Paul Ling Kah Hing, beliau menyatakan bahawa teknologi Angiografi Dwisatah dapat mengesan dan menghasilkan imej tajam bagi objek yang bergerak dan resolusi kontras tinggi walaupun pada sudut curam.\nSementara itu, Perunding Radiologi Klinikal dan Radiologi Intervensi, Hospital Pakar Regency, Dr. Ganesan Arthimulam pula berkata,\nTeknologi Angiografi Dwisatah dengan tiub X-ray menyediakan tahap keterlihatan yang lebih tinggi bagi salur darah halus yang berada di dalam tengkorak dan otak.\nPada masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital Pakar Regency, Puan Serena Yong menyatakan bahawa pihak hospital mengutamakan usaha dalam mencari cara baharu bagi meningkatkan kualiti penjagaan kepada pesakit termasuklah melabur dalam bidang teknologi. Ujarnya,\nSistem Angiografi Dwisatah ini menghasilkan imej berkualiti tinggi sambil mengeluarkan jumlah radiasi yang paling kecil dan membolehkan profesional penjagaan kesihatan memberikan penjagaan yang sebaik mungkin kepada pesakit tidak kira sama ada kes yang dihidapi oleh pesakit itu mudah ataupun rumit.\nSebagai rekod, Hospital Pakar Regency ialah sebuah hospital pakar swasta yang sedang berkembang maju di Iskandar Malaysia dengan memiliki tenaga pakar sebanyak 82 orang dalam pelbagai disiplin perubatan dan pembedahan.\nDengan kapasiti 218 buah katil, Hospital Pakar Regency menerima lebih daripada 173 000 orang pesakit pada setiap tahun dan menyediakan perkhidmatan Kemalangan dan Kecemasan selama 24 jam yang dikendalikan oleh pakar kecemasan.\nUntuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dengan hospital ini, sila layari laman sesawang Hospital Pakar Regency." "Akademi Sains Malaysia Terus Cemerlang dengan Lantikan Pengerusi Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Profesor Madya Ts Dr. Nurfadhlina Mohd Sharef dari Universiti Putra Malaysia (UPM) diumumkan sebagai Pengerusi Young Scientists Network (YSN) \u2013 Akademi Sains Malaysia (ASM) bagi tahun 2023 hingga tahun 2025.\nASM ialah badan berkanun dalam kerajaan Malaysia yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen (Akademi Sains Malaysia 1994) dan bernaung di bawah bidang kuasa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang berperanan sebagai badan penasihat saintifik tertinggi di Malaysia.\n\u201cFungsi utama ASM ialah menasihati kerajaan berkenaan dengan hal sains, teknologi dan inovasi yang berkepentingan kepada negara dan antarabangsa,\u201d kata YBrs. Profesor Madya Ts Dr. Nurfadhlina Mohd Sharef dalam satu kenyataan.\nBeliau merupakan Timbalan Pengarah Inovasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Pusat Pembangunan Akademik (CADe) di UPM. Bidang penyelidikan beliau memfokuskan penyelidikan berkaitan dengan sains data, terutamanya dalam menyelesaikan analisis sentimen, menjawab persoalan, chatbot dan masalah sistem cadangan.\nPada masa yang sama, beliau turut terlibat dalam projek akademik dan industri yang melibatkan pengembangan kaedah pengkomputeran pintar, terutamanya model pembelajaran adaptif.\nDengan pengalamannya yang sangat luas dalam akademik dan penyelidikan, ASM memberikan tanggungjawab kepada beliau untuk memimpin serta menjadi peneraju pemikir yang diiktiraf bagi menangani isu berkaitan dengan sains, kejuruteraan, teknologi dan inovasi.\n\u201cSaya berasa sangat berbesar hati dengan keyakinan yang diberikan dan akan melaksanakan amanah ini dengan sebaik-baiknya. Saya akan berusaha dalam memberikan pelbagai sumbangan kepada YSN-ASM,\u201d kata beliau lagi.\nUntuk maklumat lanjut berkenaan dengan program yang terdapat di bawah ASM, sila layari laman sesawang ASM." "SMK Puteri Wilayah Anjur Karnival STEM Pupuk Minat Pelajar terhadap Bidang Sains\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dalam menyahut cabaran dan usaha kerajaan untuk menggalakkan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di sekolah demi mewujudkan masyarakat MADANI, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Wilayah, Kuala Lumpur telah menganjurkan Forum Jejak Kerjaya Seorang Saintis yang memberikan informasi terkini tentang kerjaya seorang saintis di Malaysia.\nForum yang berlangsung selama dua jam ini telah dikupas oleh Pakar Fizik Perubatan dan Kanser, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBrs. Dr. Rozilawati Ahmad; Pakar Roket, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, YBrs. Ts. Dr. Hanafi Azami; Pakar Kejuruteraan Tisu, Universiti Teknologi MARA, YBrs. Ts. Dr. Nur Aliana Hidayah Mohamed; dan Doktor Perubatan dan Pakar Balistik, FSK, UKM, YBrs. Dr. Noor Hazfalinda Hamzah.\nSementara itu, Pakar Toksikologi, FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Razinah Sharif bertindak selaku moderator dalam forum berkenaan.\nDalam sesi forum tersebut, ahli panel memberikan perkongsian tentang kriteria dan perjalanan sebagai seorang doktor perubatan di Malaysia, menjawab persoalan berkaitan dengan pilihan yang lebih baik untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan sama ada di Malaysia ataupun di luar negara, membuka minda para pelajar tentang cabaran yang dihadapi oleh seorang saintis serta mengupas isu hasil pendapatan yang boleh dperoleh jika menjadi seorang pensyarah, saintis ataupun doktor perubatan di Malaysia pada masa ini.\nMajlis Perasmian Karnival STEM Peringkat Sekolah SMK Puteri Wilayah juga telah dirasmikan oleh Pakar Toksikologi, FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Razinah Sharif pada hari berkenaan.\nSelain forum, terdapat aktiviti lain yang dianjurkan sepanjang Karnival STEM ini berlangsung, misalnya pertandingan reka bentuk bandar teknologi hijau, pameran sudut matematik, pameran kerjaya, pertandingan membina jambatan, sesi eskperimen amali dan pertandingan inovasi teknologi hijau yang mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada para pelajar.\nWalaupun program tersebut diadakan pada bulan Ramadan, ahli panel forum, guru dan pelajar sentiasa memberikan kerjasama yang baik dan usaha murni seumpama ini seharusnya dilaksanakan di semua sekolah bagi melahirkan insan yang celik ilmu, kreatif dan berinovasi." "Memasak Lebih Mudah dengan Matematik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKita selalu mendengar ramai yang mengeluh susahnya untuk menemui juadah atau masakan Melayu tradisional yang rasa dan kualitinya sama seperti yang dimasak oleh orang dahulu.\nSatu daripada sebab masakan yang dimasak oleh orang dahulu adalah lebih sedap ialah bahan yang digunakan dalam masakan mencukupi jumlah atau sukatannya walaupun hanya untuk membuat sambal belacan. Bukan itu sahaja, masa untuk menumis, membakar atau memasak bahan tersebut juga tidak disingkatkan oleh manusia ataupun gajet dapur moden sekarang.\nBahan untuk memasak sesuatu juadah selalunya mempunyai hubungan antara satu sama lain. Lantaran itu, sukatan yang tepat bagi setiap bahan adalah sangat penting bagi membentuk hubungan yang sempurna untuk sesuatu rasa yang diinginkan dalam masakan.\nKesempurnaan rasa dan tekstur dalam masakan sukar untuk ditemui sekiranya sukatan agak-agak atau lebih kurang digunakan. Orang tua pada zaman dahulu selalunya tidak pernah memberikan nombor yang tepat apabila kita diminta untuk mengupas bawang atau menyediakan bahan untuk sesuatu masakan. Meraka akan menggunakan perkataan sepertik segenggam, sesudu, secubit dan banyak \u201cse\u201d lagi. Antara perkataan yang paling banyak digunakan termasuklah agak-agak cukup untuk seekor ayam, sekilo daging, sekilo beras dan seumpamanya.\nBilangan sesuatu benda dalam segenggam tangan individu yang berlainan pasti berbeza nilainya, bukan? Oleh hal yang demikian, sebagai seorang ahli matematik profesional, chef amatur di dapur sendiri dan seorang yang suka akan kesempurnaan rasa dan kemenjadian sesuatu masakan, maka terbentuklah beberapa resipi makanan Melayu lama dengan ketepatan sukatan yang selalunya diukur dengan sukatan agak-agak oleh orang dahulu. Ketepan sukatan dan masa serta hubungan antara setiap bahan dalam resepi masakan adalah sangat berkait rapat dengan konsep matematik.\nSebagai contohnya, sambal belacan mengikut cita rasa orang dahulu sangat sukar untuk dilakukan sekiranya tiada sukatan yang tepat bagi setiap bahan yang digunakan. Penulis kongsikan resepi yang tepat untuk sambal belacan yang sempurna rasanya setelah beberapa kali percubaan membuatnya berpandukan resepi daripada bonda penulis dengan kuantiti setiap bahan dalam resepi tersebut hanyalah menggunakan imbuhan \u201cse\u201d dan sukatan agak-agak.\nMula-mula, tumis bawang merah dan bawang putih yang telah dimayang sehingga garing kekuningan. Kemudian, masukkan cili besar dan cili api yang telah dipotong dan tumiskan bersama-sama bawang tadi untuk seketika, lebih kurang lima minit. Seterusnya, kisar bahan yang ditumis tadi bersama-sama belacan sangai, gula, garam dan jus limau nipis.\nAir tidak dimasukkan ketika proses mengisar menggunakan pengadun tangan. Jadi, tekstur sambal yang dihasilkan adalah sama seperti sambal yang ditumbuk dengan lesung batu. Sambal yang telah siap tadi akan ditambahkan dengan hirisan tomato secukupnya sebelum dimakan. Tiga sudu besar sambal mencukupi dengan satu biji tomato yang dihiris dadu.\nJika diteliti resepi yang dibangunkan di atas, nombor yang tepat diletakkan di setiap bahan yang digunakan. Hal ini adalah untuk memastikan tekstur dan rasa sambal belacan yang konsisten setiap kali kita atau sesiapa sahaja ingin membuatnya. Mudah bukan?\nDi samping itu, setiap bahan ini juga mempunyai hubungan antara satu sama lain. Misalnya, untuk memberikan rasa yang autentik dalam sambal belacan, hubungan antara satu sudu besar garam dengan empat sudu besar gula perlu digunakan.\nHubungan antara bahan ini penting dalam masakan yang juga merupakan konsep penting dalam matematik yang dipanggil nisbah yang boleh ditulis sebagai 1:4. Konsep nisbah ini juga digunakan dalam cara menghidangkan sambal belacan ini seperti tiga sudu sambal mencukupi dengan satu biji tomato yang dihiris dadu. Jadi, nisbah 1:3 digunakan dalam mengira sukatan sambal yang telah siap dikisar dengan bilangan tomato.\nSelain itu, resepi yang tepat ini juga akan memudahkan kita untuk mengurangkan atau meningkatkan jumlah sambal belacan yang dihasilkan. Katakan kita ingin menyediakan sambal belacan dengan sekilo cili padi untuk jamuan di pejabat. Pertama sekali, kita hanya perlu mengukur berat yang tepat untuk 30 tangkai cili padi. Apabila ditimbang, didapati bahawa 30 tangkai adalah bersamaan dengan 200 gram cili padi.\nSekarang, kita boleh menggunakan konsep matematik untuk menghasilkan resepi yang tepat untuk menghasilkan sambal belacan yang menggunakan sekilo cili padi. Penyelesaiannya sangat mudah, iaitu hanya dengan menggunakan operasi bahagi untuk mendapatkan perkadaran bagi setiap bahan yang digunakan.\nBagi resepi sambal belacan ini, sekilo adalah bersamaan dengan 1000 gram. Maka itu, kita hanya perlu bahagikan 1000 gram (cili padi yang akan digunakan) dengan 200 gram (cili padi dalam resepi asal) untuk mendapatkan nilai kadaran.\n1000\u00f7200 = 5\nNilai kadaran yang diperoleh ialah lima. Jadi, semua bahan dalam resepi di atas hanya perlu didarabkan dengan lima untuk membolehkan resepi sambal belacan yang tepat dan konsisten rasanya dihasilkan untuk 1000 gram cili padi.\nDengan penggunaan matematik ini, kita sudah tidak perlu risau yang sambal belacan yang ingin dihasilkan sama ada konsisten atau tidak rasanya dengan sambal belacan yang selalu disediakan sebelum ini dalam jumlah yang lebih sedikit.\nOleh hal yang demikian, bukanlah suatu perkara yang pelik jika mendengar bahawa ilmu matematik diperlukan untuk memasak. Ketahuilah bahawa asas matematik itu sememangnya sangat penting dan diperlukan dalam semua cabang kehidupan.\nJadi, inilah hasilnya apabila penulis mengambil peluang untuk sentiasa bersama-sama bonda setiap kali menolongnya di dapur. Pelbagai resepi masakan atau juadah tradisional Melayu dengan sukatan yang tepat telah berjaya dikumpulkan.\nSeorang ahli matematik tidak pernah berasa terbeban untuk mengira jumlah bawang merah yang ada dalam segenggam tangan dan tidak juga pernah merasa penat untuk mencatatkan masa yang tepat untuk mengukus beras pulut, misalnya. Walau bagaimanapun, kami akan rasa lebih terbeban sekiranya disuruh memasak atau menyediakan bahan untuk dimasak tanpa sukatan yang tepat kerana memasak lebih mudah dengan matematik." "Penyelidik UUM Hasilkan Makanan Ikan Bantu Tingkatkan Industri Akuakultur\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSintok \u2013 Penyelidik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mempelopori penghasilan makanan ikan yang diperbuat daripada sumber tempatan, iaitu Azolla untuk membantu para penternak ikan berikutan kekurangan makanan ikan dan kos makanan ikan yang tinggi di negara ini sekali gus menjadi cabaran besar bagi industri akuakultur.\nAzolla merupakan sejenis tumbuhan hijau yang tumbuh secara bersimbiosis dengan sejenis sianobakteria (alga biru-hijau), iaitu Anabaena yang didapati tumbuh dengan banyak di dalam kolam air serta sawah padi di negara Asia.\n\u201cTerdapat pelbagai spesies Azolla dan setiap satu daripadanya mempunyai potensi yang besar untuk dikomersialkan dalam bidang makanan dan kosmetik,\u201d kata Pengarah Pusat Penyelidikan Sekuriti Makanan, Inovasi dan Pembangunan (FInDER), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), UUM, YBrs. Profesor Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail.\nTambah beliau, Malaysia juga menjadikan Azolla sebagai sumber makanan ternakan, namun kegunaannya belum mencapai tahap yang optimum dan signifikan untuk menampung keperluan industri ternakan tempatan.\nPenternakan ikan dan hidupan akuatik lain merupakan sektor penting bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat di samping menyumbang ke arah pemantapan sekuriti makanan negara berikutan faktor iklim dan sumber air yang tersedia serta pantai yang luas menjadikan Malaysia sebagai sebuah lokasi yang ideal untuk melakukan aktiviti akuakultur.\nPada tahun 2019, pengeluaran tilapia sahaja telah mencapai 485 817 tan metrik, manakala ikan keli dan udang air tawar masing-masing menghasilkan 203 074 tan metrik dan 156 200 tan metrik.\n\u201cDengan pertumbuhan industri akuakultur yang pesat ini, keperluan makanan haiwan untuk menampung sektor ini juga bertambah disebabkan oleh peningkatan permintaan untuk makanan ikan di seluruh dunia di samping ketersediaan bahan mentah yang terhad serta harga bahannya yang tidak menentu,\u201d ujar beliau.\nSetakat ini, hanya sekitar 30 peratus daripada permintaan tersebut dipenuhi oleh pengeluar tempatan, manakala selebihnya diimport dari luar negara sekali gus menyebabkan industri akuakultur terdedah kepada ketidaktentuan harga global dan gangguan rantaian bekalan ikan tempatan.\nMengulas lebih lanjut, beliau menyatakan bahawa bagi menampung kos operasi, para penternak ikan terpaksa menggunakan pengganti yang lebih murah dan kurang berkhasiat sebagai makanan ikan yang menyebabkan kadar pertumbuhannya lebih rendah, kadar kemandiriannya berkurangan dan produk yang dihasilkan kurang berkualiti selain menyebabkan penternak ikan berskala kecil gagal membina daya saing dengan ladang komersial yang lebih besar.\nSebelum ini, beliau telah menghasilkan makanan ayam daripada Azolla dan produk tersebut sedang menjalani ujian lapangan terakhir sebelum dikomersialkan.\n\u201cMelihat kepada masalah bekalan makanan yang sama dalam industri akuakultur, saya menggunakan Azolla untuk menghasilkan pelet makanan ikan selain pelet makanan ayam dan setakat ini prototaip tersebut telah lulus ujian makmal dan sedang disiapkan untuk melalui ujian lapangan yang lebih besar,\u201d jelas beliau.\nProjek ini juga adalah jalinan kerjasama antara UUM dengan komuniti penduduk kampung daerah Padang Terap, Kedah yang terdiri daripada penternak keli yang berpengalaman dan merupakan pemegang taruh utama dalam rantaian bekalan ikan tempatan.\n\u201cKerjasama yang erat bersama-sama penternak ikan keli menjadikan projek ini lebih bermakna dan penyelidik memperoleh gambaran sebenar serta maklumat yang terperinci berkaitan dengan operasi penternakan ikan secara akuakultur,\u201d tambahnya lagi.\nBeliau menegaskan bahawa Malaysia perlu membina keupayaan bagi menghasilkan bahan mentah tempatan demi memastikan kos makanan ternakan mampu menjamin kemampanan sektor ternakan pada masa hadapan.\n\u201cSaya percaya bahawa jika penyelidikan dilakukan secara lebih terperinci dan menyeluruh terhadap pelbagai jenis sumber tempatan, negara ini mampu untuk menghasilkan makanan ternakan yang lebih ekonomi dan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan mentah yang diimport dari luar negara,\u201d katanya.\nPenyelidikan berkenaan turut dibantu oleh dua orang lagi penyelidik dari STML, iaitu YBrs. Dr. Mastora Mustafar dan YBrs. Dr. Siti Zakiah Abu Bakar yang menumpukan aspek ekonomi penternakan ikan keli di kawasan pedalaman di Kedah.\nKumpulan penyelidik ini juga memfokuskan kajian bagi membantu pembangunan komuniti luar bandar yang menerima impak ekonomi paling serius akibat kenaikan harga barangan sokongan aktiviti pertanian.\nProjek penyelidikan makanan alternatif tersebut telah dimulakan sejak dua tahun lalu di UUM bagi membantu penternak B40 dan komuniti pedalaman untuk meneruskan kesinambungan projek ekonomi mereka susulan harga makanan ternakan yang semakin tinggi." "Keselamatan di Makmal Terjamin dengan Amalan Penaksiran Risiko Bahan Kimia Berbahaya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Kuala Lumpur perlu melakukan Penaksiran Risiko Bahan Kimia Berbahaya (CHRA) bagi memastikan keadaan makmal adalah selamat digunakan oleh pelajar, kakitangan dan penyelidik berikutan terdapat pelbagai makmal pengajaran dan penyelidikan yang kebanyakannya menggunakan bahan kimia berbahaya.\nOleh yang demikian, satu sesi perkongsian \u201cKepentingan Penaksiran Risiko Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan\u201d telah dianjurkan oleh Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan, FSK, UKM Kampus Kuala Lumpur dengan kerjasama Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bagi membincangkan hal ini dengan lebih terperinci secara bersemuka di Bilik Mesyuarat Saidatina Khadijah, Tingkat Empat, Blok H, FSK, UKM, Kampus Kuala Lumpur.\n\u201cCHRA merupakan keperluan kepada pematuhan perundangan Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan) 2000 atau lebih dikenali sebagai USECHH 2000 di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,\u201d kata YBrs. Profesor Madya ChM. Dr. Normah Awang selaku Pengerusi Sesi Perkongsian Kepentingan Penaksiran Risiko Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan.\nJelas beliau, di bawah peraturan USECHH 2000, majikan dikehendaki untuk mengenal pasti, mendaftarkan dan merekodkan semua bahan kimia berbahaya yang digunakan di tempat kerja.\nSesi perkongsian tersebut telah disampaikan oleh Pakar Teknikal III daripada Jabatan Perundingan, Penyelidikan dan Pembangunan, NIOSH, Ts. Nor Mohd Razif Noraini yang berpengalaman bekerja selama 15 tahun dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) serta banyak terlibat sebagai penceramah dan pengajar dalam pelbagai program serta aktiviti yang berkaitan dengan bidang KKP sama ada yang dianjurkan oleh NIOSH atau agensi luar.\nPeserta yang menghadiri sesi perkongsian ini didedahkan dengan maklumat mengenai CHRA seperti takrifannya di bawah Peraturan USECHH sebagai bahan kimia yang (a) disenaraikan dalam Jadual I atau II Peraturan USECHH; (b) dikelaskan dalam mana-mana kelas bahaya yang dinyatakan di bawah Bahaya Kesihatan Jadual Pertama Peraturan KELAS; (c) racun makhluk perosak seperti yang ditakrifkan di bawah Akta Racun Perosak 1974; dan (d) sisa terjadual yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Kualiti Alam Sekitar (Buangan Terjadual) Peraturan 2005.\nMelalui sesi perkongsian ini juga, peserta dapat mengenal pasti bahayanya penggunaan bahan kimia berbahaya kepada kesihatan di tempat kerja; dapat menilai tahap pendedahan pekerja kepada bahan kimia berbahaya sama ada melalui penyedutan, kulit atau pengingesan; dapat memastikan kecukupan langkah kawalan yang sedia ada; serta mengesyorkan langkah kawalan selanjutnya yang sesuai dan mengutamakan tindakan yang perlu diambil untuk mencegah atau mengurangkan risiko yang bakal dihadapi.\nMenurut Ts. Nor Mohd Razif Noraini, tujuan CHRA ini dijalankan adalah untuk membolehkan keputusan dibuat berkaitan dengan langkah kawalan yang sesuai dilakukan, latihan yang sewajarnya diberikan kepada pekerja, keperluan program pemantauan pendedahan dan pengawasan perubatan yang diperlukan untuk melindungi kesihatan pekerja yang terdedah kepada bahan kimia berbahaya di tempat kerja.\nPenaksiran ini perlu dijalankan lima tahun sekali bagi setiap bahan kimia yang digunakan oleh seorang pengapit CHRA kompeten yang berdaftar dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia dan biasanya melibatkan kos konsultan yang agak tinggi.\nTurut hadir dalam sesi perkongsian berkenaan ialah ahli jawatankuasa JKKP, kakitangan makmal dan penyelidik daripada FSK, UKM yang merupakan pengguna berisiko tinggi untuk terdedah kepada bahan kimia berbahaya sepanjang mereka menjalankan aktiviti penyelidikan di stesen kerja masing-masing." "Raja Muda Perlis Santuni Pesakit Buah Pinggang di HTF Kangar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Bersempena dengan Program Tanggungjawab Sosial Korporat CSR \u201cRamadan Kita\u201c, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyantuni para pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.\nKeberangkatan tiba baginda ke program yang dianjurkan oleh E-Idaman Sdn. Bhd. dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama HTF Kangar, Padi Beras Nasional (BERNAS) dan Persatuan Wartawan Perlis (PWP) disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn. Bhd., Encik Zaki Abdul Aziz Daud dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, YBrs. Dr. Ismuni Bohari.\n\u201cProgram yang diadakan pada hari ini adalah sebahagian daripada iltizam syarikat untuk menyumbang kepada masyarakat atas sokongan yang diberikan kepada E-Idaman Sdn. Bhd. selama ini dan sebagai sebuah syarikat swasta, E-Idaman Sdn. Bhd. bertanggungjawab dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat syarikat bersama-sama pihak MAIPs,\u201c ujar Encik Zaki Abdul Aziz Daud dalam majlis tersebut.\nSusulan itu, pihak E-Idaman Sdn. Bhd. telah menyampaikan sumbangan CSR berjumlah RM16 480 kepada 113 orang pesakit yang menerima rawatan di Unit Dialisis, Bangunan Wakaf MAIPs Perkhidmatan Dialisis HTF Kangar.\nTurut hadir dalam program berkenaan ialah Pengarah Hospital Tuanku Fauziah, YBrs. Dr. Nordin Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Perlis, Encik Shamsuharizal Basir." "Peruntukan Perkhidmatan Kesihatan Awam Perlu Digunakan secara Optimum\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Setiap kerajaan negeri bertanggungjawab dalam memastikan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan, khususnya bagi perkhidmatan kesihatan awam digunakan secara optimum dalam memenuhi keperluan rakyat.\nHal ini berikutan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merupakan kementerian yang menerima peningkatan peruntukan kedua terbesar selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan awam.\n\u201cPeruntukan yang telah ditetapkan oleh kerajaan dilakukan setelah membuat penelitian yang terperinci terhadap keperluan dan kepentingan rakyat di setiap negeri selaras dengan konsep Malaysia MADANI,\u201d kata Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat (YB) Dr. Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan.\nYB Dr. Zaliha Mustafa yang mempengerusikan Mesyuarat YB Menteri Kesihatan bersama-sama Exco Kesihatan Negeri yang pertama di Ibu Pejabat KKM semalam menyatakan bahawa dengan adanya penganjuran mesyuarat ini telah membuktikan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan di setiap negeri.\nMenurut beliau, mesyuarat yang diadakan itu ialah satu platform bagi menyampaikan keputusan dan dasar semasa KKM untuk pemakluman dan tindakan Exco Kesihatan Negeri serta membincangkan isu semasa dan perkara berbangkit daripada YB Menteri Kesihatan bersama-sama Exco Kesihatan Negeri yang lepas.\nSelain itu, mesyuarat tersebut turut membentangkan isu berkaitan dengan Kertas Putih Kesihatan, Perbelanjaan dan Projek Pembangunan KKM serta Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).\n\u201cSaya menggesa setiap Exco Kesihatan Negeri perlu memainkan peranan yang aktif dalam memastikan pembentangan Kertas Putih Kesihatan dapat direalisasikan,\u201d ujar beliau.\nPada masa yang sama, beliau mengatakan bahawa mesyuarat yang diadakan ini dapat dijadikan sebagai platform yang menjadi pemangkin untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan bagi mewujudkan masyarakat Malaysia MADANI yang sihat sejahtera." "YAB Perdana Menteri Mahu Semua Pihak Memartabatkan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob mahu skop kerjasama diperluas, termasuklah merancang dengan rapi aspek penyelidikan, penerbitan dan pemupukan agar bahasa Melayu kembali dijadikan lingua franca.\u00a0Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu\u00a0di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada pagi ini.\nMenurut Perdana Menteri, Kerajaan juga sedar\u00a0betapa\u00a0pentingnya pelibatan golongan cendekiawan dalam merancang dan melaksanakan gagasan pemimpin dan dasar negara selain pandangan seluruh Keluarga Malaysia.\u00a0Beliau turut\u00a0yakin bahawa simposium ini dapat mengenal pasti segala halangan yang ada untuk memartabatkan bahasa Melayu serta mengemukakan satu rangka kerja khusus untuk mengatasi halangan tersebut.\n\u201cBahasa Melayu memiliki keunikan dan kelebihannya yang\u00a0tersendiri khususnya dalam kalangan negara ASEAN dan diyakini boleh dijadikan satu daripada bahasa rasmi ASEAN. Sehubungan\u00a0dengan\u00a0itu, bahasa Melayu perlu dimartabatkan dalam negara, termasuklah\u00a0meminda Akta\u00a0DBP\u00a01959 bagi memberikan\u00a0kuasa kepada DBP untuk\u00a0menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan penggunaan bahasa berkenaan.\u201d\nTambah beliau, usaha memartabatkan\u00a0dan mengantarabangsakan bahasa Melayu bukan kerja mudah kerana terlalu banyak cabaran yang dihadapi oleh pejuang bahasa.\u00a0Sementara itu, usaha sewajarnya\u00a0juga\u00a0perlu dilakukan untuk memperluas pengajaran dan penggunaan bahasa Melayu di institusi pendidikan tinggi.\nBeliau turut menyeru seluruh Keluarga Malaysia terutamanya penjawat awam agar memberikan komitmen untuk melaksanakan usaha memartabatkan bahasa Melayu. Usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia sudah menjadi dasar kerajaan dan ini antara satu bidang keutamaan kerangka Dasar Luar Negeri Malaysia yang dilancarkan pada 7 Disember 2021, iaitu diplomasi kebudayaan. Berkenaan dengan pindaan Akta DBP 1959, DBP juga telah mengadakan beberapa bengkel untuk memastikan urusan pindaan akta itu capai secepat yang boleh.\n\u201cSaya ingin menegaskan betapa pentingnya semua sektor menggunakan bahasa Melayu dengan seluas-luasnya kerana bahasa Melayu\u00a0merupakan bahasa urusan rasmi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Awam. Perluasan penggunaannya hendaklah dilaksanakan di semua jabatan dan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta. Jadikanlah peribahasa \u201cDi mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung\u201d sebagai pegangan kerana dengan cara itu barulah bahasa Melayu benar-benar boleh dijadikan alat perpaduan negara.\u201d\nTegas beliau,\u00a0DBP juga perlu menjalani proses transformasi dan peralihan paradigma daripada Akta DBP 1959 yang hanya memperuntukkan kuasa Lembaga Pengelola dalam pelaksanaan prasarana badan itu pada peranannya yang sewajarnya.\u00a0Peranan dan tanggungjawab DBP sebagai badan perancangan bahasa, sastera dan penerbitan negara perlu dirincikan\u00a0dengan\u00a0lebih jelas supaya peranannya lebih berkesan untuk mendukung dan melaksanakan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan dan undang-undang lain yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan." "Kesan Pendedahan Bunyi Bising terhadap Status Pendengaran Pekerja di Tapak Bina\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPendedahan kepada bunyi bising yang terlalu lama dan berlebihan boleh menyebabkan kerosakan kepada deria pendengaran manusia, malah menyebabkan gangguan pendengaran seperti kehilangan pendengaran disebabkan bunyi bising (NIHL).\nPada tahun 2009, Pertubuhan Keselamatan Sosial telah mengeluarkan laporan bahawa kes NIHL telah meningkat secara mendadak bermula tahun 1995. Statistik yang dikeluarkan oleh SOHELP pada tahun 2016 juga menunjukkan bahawa jumlah keseluruhan kes penyakit pekerjaan yang dilaporkan pada tahun 2015 ialah 5960 dan 5366 kes daripadanya ialah NIHL.\nBunyi bising dalam bidang kesihatan industri ditakrifkan sebagai bunyi yang boleh menyebabkan kehilangan pendengaran jika pekerja terdedah semasa melakukan tugas mereka. Bunyi boleh diukur keamatannya melalui aras tekanan bunyi dan keamatan sesuatu bunyi itu diukur dalam unit desibel (dB). Skala desibel adalah bersifat logaritma berbanding dengan linear. Hal ini bermakna perbezaan sebenar tahap tekanan bunyi dari satu dB ke tahap tekanan seterusnya meningkat apabila paras dB juga meningkat.\nBunyi bising mampu menyumbang kepada masalah pendengaran. Menurut Baguley dan Mcferran (2015), punca masalah pendengaran selain pendedahan kepada bunyi bising di tempat kerja dapat dikelaskan kepada tiga iaitu, punca sebelum kelahiran, ketika kelahiran, dan selepas kelahiran. Baka atau keturunan, pengambilan dadah yang berlebihan dan jangkitan penyakit dapat dikelaskan sebagai punca masalah pendengaran sebelum kelahiran.\nSelain itu, satu kajian yang telah dijalankan oleh Kurmis dan Apps (2007) yang menunjukkan bahawa bahan kimia yang berbahaya seperti racun serangga atau perosak mampu menyebabkan masalah pendengaran NIHL kepada individu yang terdedah kepadanya. Bagi mengatasi permasalahan ini, pengukuran paras pendedahan kebisingan adalah penting untuk menentukan tahap pendedahan kebisingan pekerja.\nTerdapat tiga alat yang digunakan untuk mengukur paras kebisingan, iaitu meter aras bunyi yang digunakan untuk mengukur intensiti bunyi di sesuatu tempat seperti bunyi bising di persekitaran, penganalisis jalur oktaf dan dosimeter untuk mengukur paras bunyi impuls.\nSeterusnya, kawalan secara perundangan juga memainkan peranan yang penting. Berdasarkan Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pendedahan Bising) 2019, dalam bahagian tanggungjawab, majikan mestilah melakukan pemantauan bunyi bising di tempat kerja, mengurangkan pendedahan pekerja terhadap bunyi bising melalui kejuruteraan, pentadbiran dan penggunaan alat perlindungan diri, melakukan program ujian audiometri, mengendalikan latihan dan pendidikan kepada pekerja dan akhir sekali, penyimpanan rekod untuk rujukan pada masa hadapan.\nTambahan lagi, mengikut Peraturan 5 dan 6 dalam peraturan yang sama, tiada seorang pun pekerja dibenarkan terdedah kepada tahap bunyi yang melebihi aras bunyi berterusan setara (Leq) dengan 85 dB (A) atau melebihi had yang ditetapkan dalam Jadual Pertama atau melebihi dos bunyi harian.\nMcAlexander et al. (2015) mengatakan bahawa kehilangan pendengaran yang disebabkan oleh bunyi bising di tempat kerja dapat dicegah sekiranya majikan dan pekerja memainkan peranan masing-masing. Sebagai contohnya, bunyi bising di tapak bina sememangnya tidak dapat dielakkan kerana proses kerja melibatkan penggunaaan mesin, alatan dan jentera yang besar.\nSatu kajian telah dijalankan yang melibatkan pekerja di satu daripada tapak bina di Shah Alam, Selangor secara keratan rentas untuk melihat kesan pendedahan bunyi bising individu terhadap pekerja di tapak bina. Persampelan yang dijalankan melibatkan dua pengukuran utama, iaitu tahap pendedahan bunyi bising individu yang diukur menggunakan dosimeter dan status pendengaran pekerja dengan penentuan ujian audiometri dan otoskopi yang dijalankan melalui kajian borang soal selidik.\n\u00a0\nHasil kajian menunjukkan bahawa tiada pekerja yang melebihi had pendedahan yang dibenarkan, iaitu 85 dBA dan paras bertindak, iaitu 83 dBA. Oleh itu, pendedahan bunyi bising individu di tapak bina mematuhi nilai piawai yang telah ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pendedahan Bising) 2019. Jika pendedahan bunyi bising individu melebihi had pendedahan yang dibenarkan atau paras bertindak, majikan perlu mengambil beberapa langkah untuk mengatasinya seperti mewajibkan penggunaan alat perlindungan pendengaran dan penilaian risiko kesihatan terhadap pekerja.\nBagi ujian otoskopi pula, kajian tersebut menunjukkan bahawa pekerja yang terdedah kepada bunyi bising yang berlebihan berpotensi mengalami tahi telinga terimpak (impacted ear wax), manakala pekerja yang tidak terdedah kepada bunyi bising secara terus mempunyai struktur fizikal telinga dalam yang normal. Oleh itu, penggunaan alat perlindungan pendengaran seperti pengedap bunyi dan penyumbat telinga perlu diwajibkan ketika bekerja.\nSementara itu, hasil ujian audiometri mendapati bahawa pekerja yang terdedah kepada bunyi bising di tapak bina mempunyai peratusan hilang pendengaran tahap ringan yang agak tinggi, iaitu sebanyak 64.7 peratus berbanding dengan pekerja yang tidak terdedah dengan bunyi bising. Kehilangan pendengaran tahap ringan yang dihadapi oleh pekerja ialah masalah pendengaran jenis konduktif. Oleh itu, ujian audiometri perlu dijalankan secara berkala untuk mengetahui status pendengaran pekerja dari semasa ke semasa.\nSebagai kesimpulannya, pekerja yang terdedah kepada bunyi bising berisiko tinggi untuk mengalami masalah pendengaran tahap ringan. Majikan dan pekerja perlu memandang serius terhadap masalah pendengaran yang dihadapi oleh sebahagian pekerja yang telah terdedah secara berterusan terhadap bunyi bising di tempat kerja. Terdapat pelbagai aktiviti atau program yang boleh dijalankan oleh pihak majikan dalam menangani masalah ini seperti melaksanakan program pemuliharaan pendengaran, sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh setahun kepada pekerja yang bekerja dalam persekitaran yang bising.\n\u00a0\nArtikel ini ditulis bersama-sama Siti Nor Nabilah Syasya Ismail, Mohd Fitri Takri dan Dr. Nurul Farahana Kamaludin, Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri, Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Kampus Kuala Lumpur." "Suruhanjaya Tenaga Tiada Kuasa bagi Menambah Kuota CGPP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Suruhanjaya Tenaga (ST) tidak mempunyai sebarang kuasa untuk bertindak sendiri bagi meningkatkan kuota atau membuat perubahan kepada sebarang hala tuju dasar berkaitan dengan Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP).\nST menjelaskan aspek berkaitan dengan hala tuju dasar serta arahan dan kuasa menambah kuota kepada 800 megawatt (MW) daripada 600 MW adalah di bawah kuasa Menteri Sumber Asli, Tenaga dan Perubahan Iklim, YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad.\nMenteri Sumber Asli, Tenaga dan Perubahan Iklim telah mengumumkannya ketika berucap pada 9 Mac yang lalu semasa pelancaran Malaysia Energy Transition Outlook selain mengumumkan garis masa bagi pengambilan kuota tambahan 800 MW adalah seawal akhir tahun ini atau hingga peruntukan penuh kuota berdasarkan permohonan yang berjaya.\nKenyataan ST berhubung dengan hal ini adalah sebagai maklum balas terhadap pengumuman garis panduan terkini mengenai CGPP pada 7 April 2023 dan laporan media pada 8 April 2023.\nKenyataan tersebut juga memaklumkan bahawa terdapat aspek penambahbaikan yang selanjutnya berkaitan dengan garis panduan kepada ST untuk dilaksanakan susulan pengumuman kuota oleh menteri.\nBerpandukan penambahbaikan tersebut, lanjutan tempoh serahan permohonan adalah untuk memberikan masa yang mencukupi bagi pengeluar tenaga solar dan pengguna korporat memahami garis panduan terkini serta membuat apa-apa perubahan yang sewajarnya dalam permohonan masing-masing.\nPada masa yang sama, ST juga mengingatkan kepada pemohon bahawa permohonan mereka hanya boleh diterima pada atau selepas pukul 10.00 pagi pada 9 Mei 2023 dan bukan pada waktu sebelumnya, manakala pihak yang tidak mematuhi ketetapan tersebut akan diminta menyerahkan semula permohonan masing-masing sebagaimana yang telah ditetapkan." "Bekalan Ikan untuk Aidilfitri Mencukupi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya\u00a0\u2013 Status bekalan makanan berasaskan ikan di negara ini adalah mencukupi bagi menampung permintaan pengguna sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri.\nSelaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 dan Dasar Sekuriti Makanan, Jabatan Perikanan Malaysia yang merupakan peneraju utama kepada pembangunan dan pemodenan sektor perikanan negara akan memastikan jaminan bekalan makanan sentiasa mencukupi kepada para pengguna.\n\u201cSektor perikanan tangkapan masih kekal menyumbang dengan jumlah pengeluaran menunjukkan jumlah pendaratan perikanan tangkapan hingga Mac 2023 adalah stabil, iaitu sebanyak 295 169 tan metrik,\u201d kata Ketua Pengarah Perikanan, YBhg. Dato\u2019 Adnan Hussain dalam satu kenyataan.\nSektor pengeluaran akuakultur bagi tempoh Januari 2023 hingga Mac 2023 telah menyumbang sebanyak 111 320 tan metrik daripada 24 352 hektar merangkumi sektor akuakultur air tawar, air payau dan rumpai laut sekali gus membuktikan bahawa pendaratan ikan sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri adalah mencukupi dan terjamin.\nYBhg. Dato\u2019 Adnan Hussain berkata, \u201cBekalan makanan berasaskan ikan bagi penggunaan ikan per kapita adalah sebanyak 43.38 kilogram per orang dengan tahap sara diri mencecah 93 peratus.\nPengurusan sumber perikanan negara perlu diurus dengan sebaik-baiknya agar sektor ini kekal menyumbang secara mampan kerana pengeksploitasian yang berlebihan akan menyebabkan penurunan sumbangan kepada pengeluaran ikan negara.\nPengurusan makanan perlu dilaksanakan melalui pelesenan dan pemuliharaan habitat penting seperti Zon Konservasi 0-1 batu nautika bagi memastikan bekalan ikan mencukupi dan menyumbang kepada jaminan sumber perikanan untuk membangunkan industri perikanan serta meningkatkan ekonomi nelayan dan pengguna.\nJelas beliau lagi, bilangan vesel penangkapan ikan yang berlesen di Malaysia adalah sebanyak 48 493, yakni hampir 84 peratus daripadanya ialah vesel yang beroperasi di Zon A, manakala selebihnya beroperasi di Zon B (4857), Zon C (2273), Zon C2 dan C3 (548) dengan menggunakan peralatan pukat jerut, pukat tunda dan rawai tuna.\nOrang ramai dinasihatkan agar tidak perlu berasa khuatir dengan isu ketiadaan bekalan ikan seperti yang digembar-gemburkan kerana pilihan ikan tidak terhad kepada ikan laut sahaja, malah pengguna juga boleh memilih ikan air tawar sebagai menu pilihan untuk dipelbagaikan sepanjang Aidilfitri nanti." "Meneroka Kesum sebagai Khazanah Negara melalui Penyelidikan Berimpak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Biotropics Malaysia Berhad telah menganjurkan sesi perkongsian dan pelancaran National Kesum Initiative 2.0 yang diadakan secara dalam talian, hari ini.\nProgram ini adalah untuk mempromosikan penyelidikan kompetitif berkaitan dengan kesum dalam kalangan penyelidik di Malaysia.\nMenurut Pengerusi National Kesum Initiative 2.0, Profesor Dr. Suzana Shahar, program yang akan mempromosikan hasil penyelidikan kesum kepada khalayak melalui pelbagai penerbitan ini diharapkan memberikan kesedaran kepada masyarakat umum tentang kepelbagaian manfaat kesum.\nKajian lepas yang melibatkan penyertaan wanita pada pertengahan usia mendapati bahawa terdapat pelbagai manfaat pengambilan suplemen kesum terhadap mood, fungsi kognitif dan kualiti hidup. Selain itu, suplemen kesum juga terbukti memperbaik fungsi memori, mood, petunjuk biologi dan protein berkaitan otak dalam kalangan warga emas.\n\nProgram diteruskan dengan sesi perkongsian oleh Profesor Dato\u2019 Dr. Ibrahim Jantan dari Institut Biologi Sistem (INBIOSIS), UKM tentang pelbagai kaedah dan pendekatan pengkajian herba untuk tujuan perubatan.\nSelepas itu, Pengarah Institut Atta-Ur-Rahman untuk Penemuan Produk Semulajadi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Dr Nor Hadiani Ismail telah berkongsikan beberapa penemuan daripada kajian lepas yang melibatkan kesum.\nPanel yang terakhir daripada Biotropics Malaysia Berhad, iaitu Dr Annie George pula menerangkan tentang pelibatan syarikat dalam kajian klinikal kesum yang telah diterbitkan di pelbagai jurnal.\nPelancaran National Kesum Initiative 2.0 ialah rentetan daripada kejayaan program dalam siri pertama yang melibatkan lebih daripada 40 penyertaan dan 13 pembentangan akhir dalam kalangan penyelidik.\nProgram ini menggalakkan penyertaan penyelidik yang menjalankan kajian berkaitan dengan kesum dalam bentuk kajian saintifik, percubaan dan kegunaan klinikal, pertanian dan sains sosial.\nSesi pembentangan proposal kajian akan dilakukan oleh peserta diikuti dengan beberapa sesi pemantauan, bimbingan, penilaian kemajuan oleh panel pakar. Pembentangan akhir dan penyampaian anugerah untuk program ini dijangkakan akan berlangsung pada November 2024.\nPenyelidik dengan proposal kajian yang novel dan mampu menghasilkan penerbitan berimpak berpeluang menjadi pemenang bagi program ini yang menawarkan hadiah wang tunai sebagai galakan untuk mengembangkan kajian yang telah dijalankan." "Bekalan Telur Tempatan Masih Mencukupi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Berdasarkan data unjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), bekalan telur di dalam negara adalah mencukupi berikutan terdapat lebihan bekalan telur pada Mac 2023 sebanyak 250.8 juta biji menyebabkan limpahan bekalan telur pada April 2023.\nSusulan itu, kerajaan melalui JPV telah mengambil beberapa langkah dalam memastikan bekalan telur tempatan kekal stabil, misalnya dengan mengadakan sesi libat urus yang melibatkan Persekutuan Persatuan Penternak-penternak Malaysia pada 23 Mac 2023.\n\u201cPengeluar telah meningkatkan pengeluaran telur mengikut permintaan sebelum dan semasa musim perayaan serta memberikan jaminan bahawa pengeluaran telur tempatan adalah mencukupi,\u201d menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan.\nKPKM melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan telah mengambil inisiatif dalam penganjuran Jualan Terus Dari Ladang bagi membantu pengedaran bekalan telur di lokaliti yang memerlukan, terutamanya di kawasan yang mengalami peningkatan kos logistik.\nPada masa yang sama, penternak ayam yang menghadapi masalah modal pusingan kewangan akibat terjejas ekoran kenaikan kos pengeluaran juga boleh merebut peluang menggunakan inisiatif pinjaman mudah melalui Agrobank yang ditawarkan oleh KPKM sebanyak RM300 juta melalui Dana Pembiayaan Agromakanan.\nPada 17 Februari 2023 yang lalu, kerajaan telah memutuskan untuk meneruskan subsidi ayam dan telur hingga Jun 2023 yang melibatkan kos sebanyak RM1.28 bilion bagi membantu para penternak dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa dalam sektor penternakan serta meringankan beban penternak berikutan peningkatan kos penternakan.\nSelain itu, kerajaan juga telah membawa masuk telur dari negara luar yang sememangnya adalah bersifat sementara bagi memastikan bekalan telur tempatan tidak terputus dan menampung permintaan tempatan sehingga bekalan telur dalam pasaran kembali stabil.\nUsaha yang dilaksanakan oleh kerajaan ini membuktikan bahawa kerajaan sangat prihatin terhadap keperluan rakyat, termasuklah penternak dan sentiasa komited dalam mengambil langkah proaktif bagi memastikan kebajikan rakyat terus terjamin." "Warga Emas Kekal Aktif pada Bulan Ramadan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSatu daripada empat kumpulan dewasa pada peringkat global dikategorikan sebagai tidak aktif secara fizikal. Di Malaysia, sebanyak 59 peratus daripada bilangan kumpulan itu terdiri daripada populasi warga emas.\nKajian Geran Jangka Panjang (LRGS TUA): Neuroprotective Model for Healthy Longevity among Malaysian Older yang djalankan oleh kumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia yang melibatkan 2322 orang warga emas di Malaysia menunjukkan bahawa sebanyak 28.4 peratus daripada jumlah tersebut tidak aktif secara fizikal dan angkanya meningkat\u00a0pada bulan Ramadan, yakni ketika berpuasa .\nBerdasarkan kajian tersebut, antara faktor penentu bagi ketidakaktifan warga emas termasuklah\u00a0etnik Melayu, merokok, kelajuan berjalan yang perlahan dan skor kognitif yang rendah.\nAktiviti fizikal ditakrifkan sebagai sebarang pergerakan badan yang dihasilkan oleh otot skeletal bagi meningkatkan penggunaan tenaga seperti melakukan tugas harian di rumah atau berkebun. Aktiviti atau pergerakan seumpama ini dapat membakar kalori, namun manfaat utama aktiviti tersebut bukanlah kecergasan.\nSenaman pula didefinisikan sebagai aktiviti fizikal yang berstruktur dan dilakukan untuk mengekalkan atau meningkatkan kecergasan badan, misalnya duduk dan berdiri berulang kali, berdiri dengan satu kaki atau mengangkat berat. Senaman bukan sahaja memberikan impak yang positif kepada kesihatan fizikal, malah mental juga bertambah sihat dan mendatangkan kebaikan kepada kehidupan sosial.\nAntara manfaat aktiviti fizikal dan senaman termasuklah mengurangkan risiko penyakit jantung, menguatkan otot dan tulang, mengurangkan risiko kencing manis hingga 50 peratus, mengawal berat badan, mengelakkan kemerosotan kognitif dan mengurangkan risiko demensia sebanyak 30 peratus. Oleh sebab itu, dengan melakukan aktiviti fizikal dan senaman, risiko jatuh, keuzuran dan kecelaan kognitif dapat dikurangkan.\nDari segi emosi pula, aktiviti fizikal dan senaman dapat mengurangkan stres, merangsang mood dan kesejahteraan emosi secara menyeluruh, meningkatkan tahap tenaga dan memperbaik kualiti tidur. Dengan menyertai kumpulan berjalan di taman atau berkebun bersama-sama keluarga di kawasan rumah, aktiviti tersebut boleh menjadi lebih seronok,\u00a0 mampu mengeratkan hubungan antara satu sama lain, memperkukuh kepentingan sosial serta mengelakkan diri daripada berasa kesepian.\nSenaman dan Puasa\nPuasa sangat sinonim dengan kelakuan tidak bermaya, cepat penat dan kekurangan tenaga. Ada yang beranggapan bahawa puasa tidak membolehkan seseorang itu untuk bersenam. Realitinya, badan kita mempunyai lemak yang dapat membekalkan tenaga apabila kita berpuasa. Masa yang sesuai untuk melakukan senaman dalam bulan Ramadan ialah sebelum waktu berbuka puasa, selepas berbuka puasa atau tarawih dan sebelum bersahur.\nWaktu yang disarankan untuk bersenam sebelum waktu berbuka puasa adalah pada hujung waktu, misalnya satu jam sebelum berbuka puasa dengan melakukan senaman yang berintensiti rendah seperti regangan. Senaman yang berintensiti tinggi seperti tabata dan senaman kardio intensif hendaklah dielakkan ketika berpuasa kerana badan kekurangan air dan boleh meningkatkan risiko kecederaan, pengsan dan serangan jantung.\nMereka yang bersenam juga perlu memastikan untuk minum air secukupnya selepas berbuka puasa dan ketika sahur untuk mengelakkan dehidrasi. Tempoh senaman yang dicadangkan pula bergantung pada intensiti, iaitu 30 minit bagi senaman berintensiti tinggi seperti berjalan laju dan 45 minit bagi senaman berintensiti rendah seperti berjalan di taman, aktiviti taici dan membersihkan halaman rumah. Walau bagaimanapun, individu yang bersenam\u00a0perlu melihat kepada tindak balas badan dan berhenti bersenam apabila badan mula berasa letih.\nSecara idealnya, kekerapan senaman yang disarankan ialah tiga kali hingga empat kali seminggu bagi mencapai saranan daripada The American College of Sports Medicine, iaitu sekurang-kurangnya 150 minit seminggu atau 30 minit selama lima hari seminggu. Namun begitu, warga emas boleh memulakan senaman sebanyak satu kali hingga dua kali seminggu dengan senaman berintensiti rendah dan kemudiannya menambah masa, kekerapan atau meningkatkan intensiti apabila badan tidak menunjukkan sebarang ketidakselesaan seperti sakit dada atau pertambahan intensiti sakit sendi.\nSementara itu, International Conference on Frailty and Sarcopenia Research menekankan bahawa jumlah senaman di bawah garis panduan am juga boleh memberikan beberapa manfaat kesihatan. Melakukan senaman walaupun sekejap adalah lebih baik daripada tidak bersenam langsung. Warga emas boleh melakukan senaman yang diminati agar dapat mengubah tingkah laku positif, mudah diterapkan dalam aktiviti harian dan kekal melakukannya sepanjang hayat.\nSelain itu, warga emas juga dinasihatkan agar mengurangkan masa duduk seperti menonton televisyen dan memperbanyak aktiviti bergerak, tidak kiralah pergerakan yang mudah ataupun kompleks. Semakin banyak pergerakan dalam tempoh masa yang lama, semakin banyak otot badan yang bekerja.\nJenis Senaman yang Boleh Dilakukan\nKekurangan keseimbangan dan kemerosotan fungsi otot adalah selari dengan peningkatan usia. Senaman, terutamanya latihan keseimbangan dan kekuatan otot harus ditekankan dalam kehidupan mengikut saranan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada tahun 2020. Hal ini adalah untuk memperbaik risiko kesihatan secara umum, mengelakkan kematian yang disebabkan oleh penyakit jantung, menghindari serangan tekanan darah tinggi, kanser, kencing manis, mengelakkan kemurungan dan keuzuran fizikal serta risiko jatuh.\nLatihan kekuatan otot hendaklah dilakukan pada intensiti sederhana hingga tinggi dengan penumpuan terhadap otot utama seperti anggota tangan, kaki, perut dan bahu yang dilakukan sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Untuk menambah baik kapasiti kefungsian dan mengurangkan risiko jatuh, warga emas boleh melakukan senaman multikomponen, iaitu gabungan keseimbangan dan latihan kekuatan, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.\nPada masa yang sama, warga emas boleh melakukan senaman yang melibatkan keseimbangan dan koordinasi. Senaman ini membabitkan pergerakan yang mencabar penjajaran pusat graviti badan berpandukan asas sokongan dan reaksi menghadapi perubahan spontan pada situasi fizikal. Senaman ini dapat meningkatkan kawalan postur badan, meningkatkan kestabilan berjalan dan seterusnya mengelakkan risiko jatuh.\nAntara senaman mudah yang boleh dilakukan bagi jenis senaman tersebut termasuklah senaman berdiri dengan satu kaki dan berdiri tegak dengan permukaan asas sokongan yang kecil seperti berdiri sambil tapak kaki kanan menyentuh ibu jari kaki kiri. Aktiviti ini perlu dilakukan dengan sokongan seperti melakukannya berdekatan dengan meja makan.\nSeterusnya, senaman rintangan ialah pergerakan otot yang melibatkan kontraksi otot terhadap rintangan seperti berat badan atau rintangan luar, misalnya menggunakan pemberat. Jenis senaman ini bertujuan meningkatkan kekuatan dan daya tahan otot. Aktiviti seperti bangun dan duduk kerusi, separa cangkung, membengkokkan siku sambil memegang botol air serta mengenggam bola getah dapat mencapai objektif untuk meningkatkan kekuatan otot.\nSenaman regangan pula ialah senaman yang membabitkan pergerakan sendi dan otot. Pada kebiasaannya, senaman ini dilakukan pada awal pemanasan badan dan ketika akhir sesi senaman. Senaman ini dapat meningkatkan julat pergerakan sendi dan kelenturan otot.\nSelain itu, senaman aerobik juga boleh dilakukan, iaitu pergerakan yang melibatkan otot besar\u00a0seperti berjalan pantas, naik dan turun tangga serta mengayuh basikal yang mampu meningkatkan keperluan oksigen dan meningkatkan daya tahan kardiovaskular.\u00a0\u00a0\nDalam kebanyakan kajian yang dijalankan, kombinasi senaman adalah sangat disarankan untuk dilakukan kerana gabungan senaman ini ialah asas untuk mencapai faedah kesihatan fizikal dan mental yang optimum.\nNota Keselamatan\nWarga emas hendaklah memakai pakaian yang menyerap peluh, tidak terlalu longgar ataupun ketat dan memakai kasut sukan bertapak getah ketika melakukan senaman. Mereka perlu memilih kawasan senaman yang memiliki pencahayaan baik, tidak terlampau panas dan permukaannya rata bagi mengurangkan risiko jatuh dan\u00a0 kecederaan ketika melakukan senaman.\nWarga emas yang menghidap penyakit jantung, asma ataupun masalah kebimbangan hendaklah mendapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu tentang keselamatan senaman ketika berpuasa. Amalkanlah gaya hidup sihat agar mendapat kehidupan yang sejahtera.\n\u00a0\nAzianah Ibrahim dan Profesor Dr. Devinder Kaur Ajit Singh, Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia." "Klinik Optometri UKM Terima Lawatan Guru Pelatih Pendidikan Khas Masalah Penglihatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Guru pelatih Pendidikan Khas Masalah Penglihatan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Klinik Optometri UKM di Jalan Raja Muda Abd Aziz, Kuala Lumpur bagi mendapatkan pendedahan tentang rehabilitasi untuk orang kurang upaya (OKU) penglihatan.\nSejajar dengan Dasar Inklusif OKU yang diperjuangkan oleh Malaysia, usaha dan kerjasama daripada semua profesion dalam memperkasakan golongan OKU termasuklah golongan yang menghadapi masalah penglihatan perlu dilakukan secara berterusan.\n\u201cGolongan kanak-kanak OKU penglihatan hanya berjumpa dengan optometris dalam sesi rehabilitasi yang berdurasi selama satu jam hingga dua jam sahaja, namun guru Pendidikan Khas akan berjumpa dengan mereka sepanjang tempoh persekolahan, maka adalah wajar untuk kita memberikan pendedahan asas mengenai optometri kepada guru berkenaan agar mereka lebih prihatin akan keperluan pelajar dan dapat memberikan sokongan semasa di dalam kelas\u201d ujar Pegawai Optometri, UKM, Puan Siti Hanisah ketika sesi lawatan berkenaan.\nLawatan tersebut memberikan pendedahan kepada guru pelatih tentang instrumen optometri yang digunakan untuk pemeriksaan kesihatan mata komprehensif, memahami prosedur pentaksiran penglihatan kanak-kanak serta diperkenalkan dengan beberapa jenis alat bantu penglihatan terhad yang digunakan untuk mengoptimumkan penglihatan.\nSalah seorang guru pelatih yang menyertai lawatan ini, Puan Siti Nur Zulaikha Zaki berkata, \u201cMelalui lawatan ini, kami dapat menimba ilmu pengetahuan dalam mengenal pasti tanda awal para pelajar OKU penglihatan yang perlu dirujuk untuk melakukan pemeriksaan lanjut.\u201d\nSebanyak enam orang pelajar tahun dua diiringi oleh seorang pengiring merangkap pensyarah Pendidikan Khas daripada Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, UKM, YBrs. Dr. Mohd Norazmi Nordin turut menyertai lawatan ini.\nDalam memacu agenda pendidikan perlu dilaksanakan secara berterusan yang merangkumi semua golongan termasuklah golongan OKU, guru Pendidikan Khas memainkan peranan dan tanggungjawab utama dalam membentuk pelajar OKU agar mereka mampu berdikari dan memberikan sumbangan kepada negara." "UKM dan Mead Johnson Nutrition (Malaysia) Sdn. Bhd. Jalin Kerjasama dalam Penyelidikan Produk Susu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan (FSK) telah menandatangani memorandum perjanjian bersama-sama Mead Johnson Nutrition (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi menjalinkan kerjasama strategik merangkumi bidang penyelidikan produk susu yis beta-glukan.\nJalinan kerjasama ini adalah sejajar dengan komitmen, usaha dan strategi UKM sebagai universiti penyelidikan yang berkolaborasi bersama-sama pihak industri dalam memantapkan pembudayaan penyelidikan yang berimpak tinggi.\n\u201cWarga penyelidik UKM mesti meningkatkan ilmu pengetahuan dan dikongsikan dengan cara yang jelas dan bermakna bukan sahaja kepada rakan akademik, malah industri dan masyarakat termasuklah berkongsikan kepakaran dan penemuan akademik secara strategik dengan pemain industri,\u201d kata Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, UKM, YBhg. Profesor Dato\u2019 Dr. Wan Kamal Mujani.\nMenurut beliau, kerjasama strategik sebegini harus diperluaskan lagi bagi membantu universiti untuk berada pada landasan yang betul serta dapat mengikuti perkembangan pesat dan terkini yang berlaku dalam industri.\nPengurus Besar Malaysia, Singapura, Vietnam dan SPOC Asean Hygiene, Mead Johnson Nutrition (Malaysia) Sdn. Bhd., Encik Brian Fischel pula menyatakan bahawa kerjasama yang dilakukan ini akan memberikan impak yang positif kerana dengan adanya kepakaran saintifik melalui kerjasama kedua-dua belah pihak dapat memenuhi keperluan pemakanan orang ramai di seluruh peringkat kehidupan melalui produk yang dihasilkan.\nTambah beliau lagi, produk susu yang mengandungi tiga ramuan utama, iaitu susu yis beta-glukan, selenium dan vitamin C dapat mengatasi keletihan, meningkatkan mikrobiom di dalam badan serta membantu dalam memberikan tiga kali ganda perlindungan imuniti kepada seluruh warga Malaysia amnya dengan menyokong akses kepada pemakanan dan penjagaan kesihatan yang lebih baik.\nTurut hadir dalam majlis ini ialah Ketua Projek merangkap Dekan FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar, Timbalan Dekan FSK, Pengerusi H-CARE, UKM dan pegawai kanan Mead Johnson Nutrition (Malaysia) Sdn. Bhd." "Makanan Punca Kanser?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMakanan punca kanser? Telahan atau persoalan ini sebenarnya sudah lama bermain dalam minda masyarakat. Kanser merupakan satu daripada penyakit tidak berjangkit yang semakin tinggi di Malaysia. Peningkatan insiden kanser saban tahun lazimnya dikaitkan dengan gaya hidup yang semakin menjurus kepada cara hidup Barat selain makanan tinggi kalori yang banyak dihasilkan daripada percambahan makanan silang budaya.\nKanser boleh dikaitkan dengan pelbagai faktor seperti genetik, persekitaran dan gaya hidup termasuk amalan diet dan senaman. Selain itu, stres di tempat kerja, pendedahan kepada bahan yang boleh meningkatkan risiko kanser (karsinogen) boleh mencetuskan proses inisiasi sel kanser itu sendiri.\nAsbab kanser biasanya dikaitkan dengan genetik, namun kajian terkini menunjukkan punca perubahan genetik itu ialah pemakanan dan persekitaran. Perubahan genetik, makanan dan persekitaran juga dikaitkan dengan satu daripada bidang ilmu yang dikenali sebagai toksikologi.\nAhli kimia, Paracelsus selaku perintis dalam dunia toksikologi telah menyatakan bahawa semua bahan ialah racun dan tiada bahan yang bukan racun. Selain itu, yang membezakan bahan racun dan bukan racun ialah dos. Penyataan ini menerangkan konsep asal dos dan respons yang merujuk dos tertentu boleh menyebabkan sesuatu bahan boleh bertindak sebagai racun.\nBidang toksikologi merupakan satu daripada bidang kajian yang berkaitan dengan sebarang bahan yang boleh menyebabkan kemudaratan kepada semua organisma hidup, termasuklah manusia. Bermula dari tahun 1960 hingga kini, bidang toksikologi telah mengalami perkembangan pesat dengan pelbagai teknik analisis telah dibangunkan dan undang-undang terhadap penggunaan bahan toksik telah dikuatkuasakan.\nAntara sumber pendedahan bahan toksik kepada manusia termasuklah melalui makanan yang lazimnya dimakan secara langsung. Pendedahan ini boleh disebabkan oleh bahan makanan itu sendiri atau daripada bahan tambahan kepada makanan tersebut.\nBahan toksik yang terkandung dalam makanan boleh terbahagi kepada dua, iaitu bahan aditif makanan seperti pengawet dan bahan yang terbentuk secara semula jadi seperti miktoksin, fitotoksin dan mineral inorganik. Pengawet seperti asid benzoik, natrium benzoat dan natrium klorida (garam) juga biasa digunakan bagi memastikan produk makanan tersebut dapat bertahan lama dengan bertindak sebagai antimikrob.\nTerdapat juga bahan dalam diet manusia yang dapat bertindak sebagai karsinogen dan mutagen secara semula jadi seperti aflatoksin yang boleh terbentuk dalam kekacang yang mempunyai kulat dan pelbagai lagi contoh ketoksikan alami.\nMutagen dan karsinogen merupakan istilah asing untuk masyarakat. Dua istilah ini lazim digunakan dalam bidang toksikologi bagi melihat kesan buruk sesuatu bahan. Secara ringkasnya, mutagen ialah sebarang agen yang boleh menyebabkan mutasi atau kerosakan kepada asid deoksiribonukleik (DNA). Mutasi pula merujuk sebarang perubahan walaupun kecil yang berlaku pada jujukan DNA dan kromosom. Karsinogen pula secara ringkasnya merujuk bahan yang boleh menjadi pemula untuk proses kanser berlaku.\nKanser yang bersifat berbilang faktor biasanya bermula dengan proses inisiasi dan di sinilah karsinogen memainkan peranan. Selain inisiasi, karsinogen juga terlibat dalam proses promosi dan pergerakan kanser.\nKerosakan DNA dan mutasi dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan pelbagai penyakit degeneratif. Tingkah laku biasa setiap sel dalam tubuh manusia dikawal oleh bahan genetiknya. Bahan genetik terdiri daripada rantaian unit DNA yang diatur dalam suatu susunan tertentu di dalam nukleus sel. Perubahan dalam urutan DNA yang disebut sebagai mutasi boleh mengganggu fungsi biasa sesuatu protein.\nBahan Toksik dalam Makanan\nKehadiran bahan toksik dalam makanan sering dianggap remeh oleh sesetengah pihak. Pelbagai telahan dilakukan dan bermacam-macam mesej tular di media sosial yang berkaitan dengan makanan dan bahan toksik tanpa memahami sains di sebalik setiap mesej berikut.\nAntara contoh isu tular tentang bahan toksik dalam makanan termasuklah kehadiran karsinogen dalam biskut dan penggunaan penggoreng kering serta ketuhar gelombang mikro yang boleh menyebabkan kanser. Kajian yang dijalankan oleh Kementerian Keselamatan dari Hong Kong yang telah menilai isu ketoksikan biskut keluaran Malaysia mendapati bahawa biskut keluaran Malaysia tinggi dengan akrilamid.\nAkrilamid ialah satu daripada karsinogen utama yang turut dikaitkan dengan perubahan genetik. Selain itu, makanan tradisi seperti sate turut dikaitkan dengan kanser. Banyak lagi telahan dan mitos yang mungkin ada kebenarannya atau kekal sebagai mitos seperti perkaitan antara mi segera dan ramen dengan kanser, antara makanan pedas dengan kanser, prebiotik dan penggunaan arang dalam masakan seperti roti arang, kuih kuba guling dan sebagainya.\nKajian yang dilakukan oleh penulis melihat tentang risiko kesihatan dan kaitannya dengan akrilamid. Hasil kajian mendapati bahawa pengambilan makanan yang kaya dengan akrilamid ini tinggi dalam kalangan populasi Malaysia, terutamanya dalam makanan seperti ayam goreng, keropok lekor dan pisang goreng.\nAkrilamid biasanya terdapat dalam makanan kegemaran masyarakat Malaysia seperti kerepek ubi, kerepek pisang, dan keropok yang bahan asasnya ialah bahan yang tinggi kanji atau karbohidrat dan dimasak dengan suhu tinggi.\nPengambilan makanan tinggi akrilamid juga tidak terhad kepada makanan sahaja kerana akrilamid juga boleh didapati dalam kopi dan teh. Namun begitu, berdasarkan kajian yang telah dijalankan dalam kalangan pekerja pejabat, masyarakat Malaysia lebih gemar meminum air kopi segera. Kandungan akrilamid dalam air kopi segera adalah sangat rendah berbanding dalam kopi espreso.\nJika anda penggemar kopi segera, maka anda tidak perlu risau dengan pendedahan kepada akrilamid. Walau bagaimanapuan, jika anda penggemar kopi Americano dan espreso, maka anda perlu menilai semula dedahan anda terhadap akrilamid.\nDi Malaysia, penyelidikan berkaitan dengan makanan yang dimakan setiap hari masih tidak luas dikaji. Di negara Barat, penyelidikan terhadap makanan menjadi komponen penting dan pelbagai pertubuhan berminat untuk mengkaji bahan makanan yang mampu menyebabkan kemudaratan kepada manusia.\nHasil kajian tersebut telah digunakan oleh pihak berwajib seperti International Agency for Research on Cancer untuk mewartakan pengambilan daging terproses sebagai karsinogen kelas pertama. Hal ini jelas menunjukkan bahawa makanan yang dimakan kini turut bertindak dalam peningkatan risiko penyakit kronik.\nSebagai contohnya, pengambilan makanan dengan kandungan lemak tepu yang tinggi akan menyebabkan peningkatan risiko penyakit jantung. Pengambilan lemak pula dikaitkan dengan insiden kanser payudara dan kanser kolon. Selain itu, pengambilan garam yang tinggi pula dihubungkan dengan darah tinggi dan insiden kanser perut.\nKanser dan Makanan\nSecara umumnya, kanser ialah proses yang merujuk populasi sel melepasi kawalan tumbesaran normal untuk menjadi satu tumor yang malignan. Kanser merupakan penyakit yang berkaitrapat dengan diet dan gaya hidup seharian. Kajian oleh Doll dan Peto pada tahun 1981 dilihat sebagai kajian perintis yang menyatakan hubung kait antara kanser dengan diet.\nPengambilan sayuran dan buah-buahan yang kaya dengan serat dikatakan mampu menurunkan risiko kanser. Sebaliknya, pengambilan makanan yang tinggi dengan kandungan lemak dan mempunyai kandungan bahan kimia yang tinggi mampu meningkatkan insiden kanser.\nSelain itu, amaun bahan kimia dalam diet seharian yang boleh dikategorikan sebagai bahan karsinogen juga kian meningkat. Kehadiran bahan tambahan makanan, pengawet makanan dan residu pestisid dalam sayur dan buah dilihat menjadi antara bahan karsinogen yang berpunca daripada makanan.\nKarsinogen juga boleh diperoleh daripada makanan secara langsung. Karsinogen semula jadi daripada makanan menyebabkan risiko penyakit yang lebih tinggi berbanding dengan sumber lain.\nKarsinogen yang lazimnya terdapat dalam diet seharian ialah mikotoksin (roti yang berkulat, kacang tanah dan tempeh), sebatian n-nitroso (bahan yang digunakan dalam penyediaan jeruk dan makanan yang diawet) dan polisiklik aromatik hidrokarbon (makanan yang telah dimasak dengan cara gorengan dan panggang atau salai, terutama sehingga garing dan hangus).\nSecara keseluruhannya, faktor pemakanan juga menyumbang kepada peningkatan kes kanser. Makanan dan minuman yang diambil sehari-hari akan membentuk diet anda. Mesej yang paling penting dalam hal ini ialah akses kepada jumlah makanan yang selamat dan berkhasiat yang mencukupi ialah kunci untuk mengekalkan kehidupan dan menggalakkan kesihatan yang baik.\n\u00a0\nProfesor Madya Dr. Razinah Sharif @ Mohd Sharif, Pensyarah, Pusat Kajian Penuaan Sihat & Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia." "Individu Berdarah AB Disaran menjadi Penderma Aferesis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Orang ramai disarankan untuk menjadi salah seorang penderma aferesis, terutamanya bagi individu yang darahnya tergolong dalam kumpulan darah AB.\nPendermaan aferesis ialah proses pendermaan darah yang khusus, yakni apabila darah utuh dikeluarkan daripada badan penderma, proses tersebut akan melalui satu mesin khas dan produk plasma atau platelet sahaja yang akan diambil, manakala darah merah akan dipulangkan semula kepada penderma darah berkenaan.\n\u201cPendermaan aferesis ini boleh dilakukan dengan lebih kerap, iaitu sekitar dua minggu hingga satu bulan selepas pendermaan darah, namun berbeza pula dengan pendermaan darah utuh yang mengambil masa selama tiga bulan untuk melakukan pendermaan darah yang seterusnya,\u201d kata Pakar Perubatan Transfusi, Pusat Darah Negara, YBrs. Dr. Norasrina Ishak menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia, baru-baru ini.\nJelas beliau, seseorang yang ingin membuat pendermaan aferesis haruslah menjadi penderma darah utuh sebanyak dua kali dalam tempoh 24 bulan dan pendermaan darahnya yang terakhir adalah pada enam bulan sebelum menjadi penderma aferesis, mempunyai salur darah yang baik serta memiliki berat badan melebihi 55 kilogram.\n\u201cPada kebiasaannya, pendermaan aferesis ini sering digunakan dalam situasi klinikal yang tertentu dan disebabkan oleh kuantiti penghasilan produk aferesis tidaklah sebanyak pendermaan darah utuh, kebanyakan platelet yang diambil akan dibekalkan kepada pesakit yang telah didiagnosis dengan kanser darah ataupun melalui proses pemindahan organ dan kes tertentu,\u201d ujar beliau.\nSecara umumnya, sebanyak 4000 plasma daripada hasil pendermaan darah utuh akan menjalani proses fraksinasi melalui program fraksinasi kebangsaan yang dilakukan dengan kerjasama sebuah syarikat di Australia.\nMenurutnya lagi, produk fraksinasi seperti ubat-ubatan akan dihasilkan bagi memenuhi 15 peratus hingga 75 peratus permintaan daripada hospital kerajaan untuk dibekalkan kepada pesakit yang memerlukan.\nOrang ramai bukan sahaja boleh melakukan pendermaan darah di Pusat Darah Negara, malah pendermaan darah juga boleh dilakukan di pelbagai pusat kutipan darah di seluruh negara.\nSebarang maklumat lanjut berkaitan dengan lokasi pendermaan darah ataupun aktiviti berkaitan dengan tatacara dan kriteria penderma darah, orang ramai disarankan untuk menghubungi pusat kutipan darah atau melayari laman sesawang Pusat Darah Negara." "Ensiklopedia Bahasa Melayu yang Perlu Dimiliki\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\nKUALA LUMPUR \u2212 Ensiklopedia Bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ini merupakan ensiklopedia bahasa Melayu yang sangat istimewa. Buku ini memberikan penjelasan ringkas tentang beberapa aspek bahasa, termasuklah sejarah, pembinaan, perkembangan, sistem tulisan dan sebagainya. Istimewanya buku ini kerana memaparkan fakta tentang bahasa Melayu secara menyeluruh dan komprehensif, iaitu kandungannya meliputi sejarah awal, rekonstruksi dan batu bersurat hingga perkembangan bahasa pada masa ini, di samping keutamaan dari segi sejarah perkembangan bahasa Melayu dan perkembangan sosial, iaitu penggunaan bahasa Melayu dalam pemerintahan, hubungan antara kawasan di Alam Melayu dan hubungan antara orang Melayu dengan orang luar.\n\nEnsiklopedia Bahasa Melayu turut menjadi bahan rujukan bagi sesiapa sahaja yang ingin membuat penyelidikan bahasa, yang berminat tentang sosiolinguistik, sebagai bahasa halus bagi sesuatu situasi, bahasa Melayu untuk berinteraksi, bahasa yang digunakan di parlimen dan juga sangat berguna bagi golongan profesional lain seperti pihak pentadbir, pihak media massa, dan penyambut tetamu.\n\u201cDari segi bahasa slanga pula, penggunaannya mengikut generasi dan peredaran masa. Bahasa slanga itu akhirnya akan \u201cmati\u201d begitu sahaja mengikut peredaran zaman. Pencemaran bahasa berlaku apabila seseorang menggunakan sesuatu perkataan yang tidak sesuai dari segi budaya kita. Hal ini akan mengganggu perkembangan bahasa itu sendiri. Begitu juga dari aspek kesantunan berbahasa. Untuk mengembangkan bahasa Melayu, kita harus mempertahankan keindahan bahasa Melayu. Jangan sampai kita terpengaruh dengan bahasa lain sehingga merosakkan bahasa Melayu itu sendiri.\u201d\nDemikianlah antara penerangan yang diberikan oleh Prof. Emeritus Dato\u2019 Dr. Asmah Haji Omar, selaku pakar bidang dan ahli Lembaga Pengelola DBP ketika berbicara tentang pelbagai ilmu bahasa Melayu sewaktu menjadi tetamu undangan dalam rancangan Peka Bahasa, \u201cEnsiklopedia Bahasa Melayu:Rujukan Lengkap dan Menyeluruh Bahasa Melayu\u201d, menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 12.00 tengah hari tadi." "Tiang Kestabilan Bahasa Perlu Dibina \u2013 Profesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Asmah Haji Omar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Setiap negara yang berdaulat mempunyai bahasa utama dengan pengertian bahasa yang paling ulung dalam sejumlah bahasa di negara berkenaan, sebagai alat hubungan antara rakyat, serta antara pemerintah dengan rakyat, dan tidak kurang pentingnya dalam membina dan mempertingkatkan anak negeri dalam keupayaan intelektual dan kemahiran dalam setiap bidang kehidupan. \n\u201cPengertian \u2018bahasa utama\u2019 ini diwujudkan dalam nama lain seperti \u2018bahasa kebangsaan\u2019 dan \u2018bahasa rasmi\u2019. Di Asia, \u2018bahasa kebangsaan\u2019 atau national language digunakan antara lain oleh Malaysia, Brunei, Filipina, Thailand dan Cambodia. Indonesia pula memilih bentuk serapan, iaitu \u201cbahasa nasional\u201c. Istilah \u201cbahasa rasmi\u201d digunakan antara lain oleh India, Republik Rakyat China, dan Papua New Guinea. Di Singapura pada mulanya digunakan istilah national language, dengan bahasa Melayu sebagai pemegang peranannya. Kemudian, istilah ini digantikan dengan first language dan penghormatan diberi kepada bahasa Inggeris. Walau apa pun nama yang diberi, setiap negara tentu sahaja memilih bahasa yang baginya adalah bahasa yang martabatnya melebihi bahasa lain di bawah langitnya,\u201d ujar Profesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Asmah Haji Omar, dalam\u00a0 Ucap Utama 1: Martabat Bahasa Kebangsaan, bersempena dengan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang kini berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur. \nMenurut Profesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Asmah Haji Omar, kata \u201cmartabat\u201d, asalnya bahasa Arab, bermakna \u201cpangkat tinggi di atas segala yang lain\u201d. Ciri-ciri penting dari segi penggunaan bahasa, penciptaan sastera dan budaya telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia. Unsur-unsur itu yang dalam pemerhatiannya boleh diletakkan dalam dua paksi, iaitu paksi dalaman dan paksi luaran. Sementara itu, paksi dalaman ialah keupayaan yang ada pada bahasa itu sendiri, pada aspek filogenetiknya, yakni sistem dan struktur yang mewujudkan daya kognitif penutur dengan konsep-konsep yang sedia ada dan yang baru tumbuh, sesuai dengan kemajuan hidup komuniti penuturnya.\u00a0\nProfesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Asmah Haji Omar turut menyentuh bahawa pengalaman Malaysia, Indonesia dan Brunei dalam MABBIM (Majlis Bahasa Brunei- Indonesia-Malaysia) menyediakan panduan mencipta istilah baharu dalam bidang akademik dan profesional ialah contoh keupayaan yang ada pada bahasa Melayu. Keupayaan sebegini bukan baru bermula dalam tahun 1972 dengan terbentuknya MBIM (Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia), tetapi sudah wujud ratusan tahun sebelumnya, mungkin juga ribuan tahun.\nBatu Bersurat abad ke-7 di Sumatera Selatan dan Pulau Bangka memperlihatkan penggunaan bahasa Melayu dalam pemerintahan empayar Melayu Srivijaya. Bahasa tersebut menggambarkan ciri-ciri bahasa Melayu tinggi (high language \u2013 LH), sebagai lawan bahasa Melayu rendah (low language \u2013 LL) yang antara lain ialah bahasa Melayu lingua franca sebagai bahasa pengantar antara penutur berlainan bahasa di pelabuhan-pelabuhan Gugusan Pulau-pulau Melayu.\nBeliau turut menjelaskan bahawa kepentingan \u201clama-waktu\u201c (time-depth) pertumbuhan bahasa, iaitu\u00a0 bahasa Melayu tinggi tidak muncul secara tiba-tiba dengan adanya Srivijaya. Pertumbuhannya berlaku jauh lebih lama dari itu. Istilah-istilah Sanskrit dalam batu-batu bersurat itu terdiri daripada nama pangkat, takwim dan unsur-unsur agama dan budaya Hindu-Buddha. Selainnya, teks-teks itu sudah menggambarkan bahasa Melayu yang sesuai dengan peradabannya. Dari bukti-bukti ini, kesimpulannya ialah bahasa Melayu pada zaman itu sudah mencatat lama-waktu, iaitu lama-waktu atau sejarah, yang cukup panjang. Lama-waktu penting bagi pertumbuhan bahasa dari segi filogenetik dan juga peraturan-peraturan sosiolinguistiknya yang menunjukkan adanya adab tertib yang sangat penting dalam peradaban Melayu, dan ini diperkuatkan lagi dengan budaya hidup yang dibawa oleh agama Islam.\n\u201cLama-waktu memungkinkan penghasilan sastera rakyat, bahkan sebelum orang Melayu mempunyai sistem tulisan. Khazanah Melayu cukup kaya dengan sastera rakyat seperti pantun dan cerita binatang, jenaka, dan tauladan, dengan kaedah bercerita yang cukup canggih yang tidak mungkin ada jika tidak ada bahasa tinggi.\nPertumbuhan pesat dengan adanya tulisan Jawi. Apabila datangnya tulisan Arab bersama-sama dengan agama Islam, tidak ada sekatan bagi orang Melayu mencapai setakuk lagi tingkat dalam budaya tinggi, iaitu celik huruf. Dengan keupayaan mereka sendiri, tulisan Arab disesuaikan dengan sistem bunyi bahasa Melayu, menghasilkan tulisan yang kita kenal sekarang sebagai tulisan Jawi. Mereka menerapkan alat ini sepenuh-penuhnya dengan merakam semua hasil sastera yang selama itu terdapat dalam bentuk lisan sahaja, termasuklah hasil sastera yang dibawa dari luar. Maka muncullah juga ciptaan teks dalam genre-genre baharu seperti kitab agama Islam, tafsir Quran juz demi juz, serta teks undang-undang dan hukum kanun yang digunakan dalam pemerintahan negeri-negeri Melayu.\u201d\nProfesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Asmah Haji Omar turut mengajak semua pihak untuk memahami sejarah bahasa pemerintahan Kesultanan Melayu, iaitu sebelum lahirnya Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, sembilan kesultanan Melayu, sudah pun menggunakan bahasa Melayu, dialek masing-masing, sebagai bahasa rasmi. Perbezaan dialek terletak pada sebutan dan sejumlah kecil perkataan (antara 15 peratus dan 16 peratus). Perbezaan seperti itu tidak merosakkan jalan perbualan antara mereka, disebabkan adanya komponen teras, merangkumi aspek- aspek filogenetik dan sosiolinguistik, yang mengikat dialek-dialek itu dalam kesatuan yang kukuh di bawah nama \u201cbahasa Melayu\u201d.\nSelain itu, tiap-tiap negeri Melayu mempunyai karya agung seperti hikayat dan syair yang dihasilkan oleh rakyatnya. Selama ini orang Melayu diperkenalkan dengan warisan sastera lama yang terdiri daripada Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah, seolah-olah itulah sahaja karya agung peradaban Melayu, sehingga orang luar menganggap bakat Melayu terhenti di situ sahaja. Dari segi sejarah, ada empat karya agung, iaitu Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Terong Pipit, Selindung Bulan Kedah Tua dan Syair Sultan Maulana. Negeri-negeri Melayu yang lain juga mempunyai khazanah yang setaraf.\nTidak dilupakan, Profesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Asmah Haji Omar juga menyentuh tentang budaya tinggi dalam seni surat-menyurat. Katanya, hubungan antara raja-raja Melayu banyak melalui surat-menyurat yang menggunakan bahasa Melayu; demikian juga antara mereka dengan raja-raja lain serta dengan kuasa penjajah di Alam Melayu. Seni surat-menyurat Melayu sudah mencapai taraf budaya tinggi dalam abad ke-19, bukti panjangnya lama-waktu seni tersebut. Koleksi Surat-Surat Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang memerintah Kedah dari tahun 1881 hingga tahun 1943, diisytiharkan oleh UNESCO sebagai Warisan Dunia. Bukan sahaja isi kandungan surat-surat itu memberikan maklumat sejarah kehidupan masyarakat Kedah, tetapi bahasa yang digunakan oleh Sultan ialah bahasa tinggi dengan gaya yang berbeza-beza sesuai dengan kedudukan orang yang ditujukan suratnya. \nPaling penting menurut Profesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Asmah Haji Omar, penghasilan buku bahasa dan kamus yang meliputi fonologi dan nahu, yang sudah banyak dihasilkan oleh pegawai-pegawai Inggeris sejak abad ke-19 lagi. Tidak kurang juga usaha daripada pihak penutur Melayu sendiri, bukan sahaja di Tanah Melayu bahkan juga di kawasan-kawasan Melayu yang sekarang ini menjadi bahagian Republik Indonesia. Semuanya cukup baik, memberikan tumpuan pada pembentukan ayat, sesuai dengan zaman penulisannya bahkan hingga sekarang ini.\n\u201cDaripada kajian saya, huraian nahu Melayu yang paling terkemuka dalam zamannya ialah hasil karya Za\u2019ba. Dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu tahun 1934, yang diikuti oleh Pelita Bahasa Melayu pada tahun 1941, dalam tiga jilid, nahu Za\u2019ba sudah dapat mengenal pasti perkaitan fonologi dengan aspek-aspek nahu. Nahunya bukanlah seperti yang diajarkan di sekolah-skolah di Malaysia yang berasaskan \u2018Ayat sama dengan FN-FK\u2019. Nahunya berasaskan wacana dan konteks. Za\u2019ba sendiri menjelaskan bahawa beliau mendapat idea nahunya itu setelah mengkaji nahu yang digunakan dalam pengajaran bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Za\u2019ba tidak menggunakan istilah \u2018wacana\u2019 dan \u2018konteks\u2019, tetapi penjelasannya seharusnya dapat ditafsirkan oleh mana-mana ahli linguistik. Teori linguistik aliran London yang berasaskan konteks dalam situasi baharu diterbitkan sepenuhnya dalam tahun 1966 oleh Profesor J. R. Firth tidak lama sebelum beliau meninggal dunia,\u201d ujar Profesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Asmah Haji Omar. \nTambahnya lagi, dalam bukunya Rahsia Ejaan Jawi 1931, Za\u2019ba sudah dapat memberikan huraian bunyi-bunyi bahasa Melayu berserta dengan ciri artikulasi dan akustik bunyi-bunyi itu, dengan menggunakan istilah ciptaannya sendiri. Hal ini juga menunjukkan \u00a0bahawa kehandalan linguistiknya yang mendahului zamannya.\nPerkamusan Melayu sudah bermula dari abad ke-19 sebagai kamus dwibahasa dengan entri bahasa Melayu dan padanan bahasa Inggeris, Belanda atau Perancis. Bidang ini terus hidup subur hingga sekarang, terutama dengan adanya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menghasilkan kamus ekabahasa dan dwibahasa, serta juga kamus simpulan bahasa dan pepatah petitih. Dalam tiga dekad kebelakangan ini, DBP juga menghasilkan kamus istilah dalam berbagai-bidang bidang ilmu pengetahuan.\nProfesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Asmah Haji Omar, turut menyentuh tentang kepentingan paksi luaran yang terdiri daripada konteks budaya dan keluasan geografi yang mewujudkan komuniti bahasa. Hal ini bermakna martabatnya boleh dilihat dalam konteks tersebut. Hal yang demikian juga dengan martabat nama, iaitu dalam \u201cTujuh Wasiat Raja-Raja Melayu\u201d pada 31 Ogos 1957, wasiat yang bertepatan dengan tema ucapannya ialah Wasiat Pertama dan Wasiat Kelima. Wasiat Pertama berbunyi: \u201cKami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung, Persekutuan Tanah Melayu\u201d. Bunyi Wasiat Kelima ialah: \u201cKami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu\u201d.\nPenggunaan nama \u201cbahasa Malaysia\u201d yang tidak selaras dengan kehendak raja-raja Melayu, hanya untuk tujuan mengembalikan suasana aman damai selepas konflik perkauman Peristiwa 13 Mei 1969. Nama \u201cbahasa Melayu\u201d dalam Perlembagaan tidak diusik. Kehendak raja-raja Melayu secara tidak langsung menyatakan lama-waktu ada pada perkataan \u201cMelayu\u201d yang mengikat asal usul bahasa itu dengan nama etnik penuturnya.\n\u201cNama bahasa penting kerana di dalam nama itulah terletak sejarahnya, iaitu suku etnik tempat tumbuhnya bahasa tersebut, dan dengan itu lama-waktunya. Amerika Syarikat, Kanada, Australia, dan New Zealand berasal daripada ibu kandung yang sama yang menggunakan bahasa Inggeris, dan mempertahankan nama bahasa berkenaan. Singapura juga demikian untuk perkataan pertamanya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa nama bahasa ialah eksponen martabat bahasa tersebut. Jika bahasa Melayu digantikan dengan nama lain, maka akan tenggelamlah nama asal dan sejarahnya seperti hilangnya nama \u2018Tasik Melayu\u2019, yakni \u2018Laut Melayu\u2019 yang digantikan dengan nama \u2018Selat Melaka\u2019. Nama Selat Melaka menggambarkan seolah-olah tidak ada sejarah perairan yang penting di alam Melayu sebelum abad ke-15, sebelum Parasmeswara bersandar kepenatan di bawah pohon melaka setelah Singapura diserang oleh Majapahit. Hasilnya, di Kepuluan Melayu, tidak ada laut Melayu,\u201d jelas Profesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Asmah Haji Omar. \nPenyebaran luas dan komuniti baharu juga amat penting\u00a0dalam penyebaran bahasa Melayu yang luas, dengan syarat ada kawasan komuniti penutur yang jelas dalam kawasan-kawasan penyebaran itu, sama ada sebagai komuniti bahasa pertama atau bahasa kedua. Bahasa Melayu mempunyai komuniti yang jelas di daratan Asia Tenggara, iaitu Thailand, Cambodia dan Vietnam dengan variasi masing-masing. Hal ini berlaku sejak zaman silam lagi sebagai kesinambungan kawasan bahasa Melayu yang ada di Tanah Melayu. Juga terdapat komuniti baharu bahasa Melayu di tanah besar Australia di pantai timur dan barat, dan juga di Pulau Christmas dan Kepulauan Cocos (Keeling) di Lautan Hindi. Sama halnya di Mekah dengan komuniti Melayu yang sudah wujud sejak abad ke-19 lagi. \n\u201cAdanya institusi-institusi yang mengajar bahasa tertentu di berbagai-bagai negara asing dalam mata kasar menaikkan taraf sosial bahasa berkenaan. Faktor ini boleh diterima jika insititusi-institusi itu membawa kepada wujudnya komuniti etnolinguistik baharu di kawasan berkenaan. Jika tidak, maka pengajaran bahasa itu samalah seperti pengajaran kursus-kursus elektif, yang ditawarkan kepada pelajar atas keperluan akademik tertentu. Di School of Oriental and African Studies (SOAS), London, suatu waktu dahulu, pengajaran bahasa Melayu, mendapat sambutan yang baik dengan adanya dua golongan pelajar, iaitu pegawai kerajaan British yang akan bertugas di Malaysia, dan mubaligh Kristian yang bertujuan untuk menyebarkan agama Kristian kepada bumiputera bukan Melayu di Sabah dan Sarawak. Sekarang sudah tidak ada lagi minat seperti dahulu. Lebih cepat orang belajar bahasa Melayu di kelas-kelas yang dijalankan oleh kelas-kelas swasta. Bagi mubaligh Kristian lebih cepat dan mudah mereka menggunakan Kitab Injil yang sudah ada terjemahannya dalam bahasa Indonesia. Bahasa asing juga diajar di institut bahasa angkatan tentera yang dijalankan oleh negara-negara tertentu dengan tujuan tertentu. Jika bahasa kita tidak dimasukkan dalam senarai tersebut, kita tidak perlu gelisah, kerana pemilihannya belum tentu menambah kepada martabat bahasa kita,\u201d Profesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Asmah Haji Omar. \nMengakhiri ucap utamanya, Profesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Asmah Haji Omar menegaskan bahawa hanya dengan meletakkan unsur-unsur yang boleh diterima sebagai keunggulan bahasa, dan sebaliknya, dalam paksi dalaman dan luaran barulah bahasa Melayu dapat diperkasakan.\u00a0\n\u201cDengan meneliti eksponen paksi-paksi itu, kita dapat memilih yang mana yang boleh diambil sebagai penentu martabat, dan yang mana tidak. Eksponen yang penting dan wujud dalam kedua-dua paksi itu ialah lama-waktu yang merupakan konteks kemantapan budaya tinggi serta juga tiang kestabilan bahasa, yang tidak ada pada bahasa yang tidak cukup lama-waktunya,\u201d ucapnya." "Malaysia Alami Fenomena Gerhana Matahari Separa Khamis Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Malaysia akan mengalami gerhana matahari separa pada Khamis ini, 20 April 2023 bersempena dengan fenomena gerhana matahari hibrid yang berlaku ke utara dari benua Australia.\nMenurut Ketua Penolong Pengarah Planetarium Negara, Mohd Zamri Shah Mastor, orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena itu bermula pukul 11.00 pagi hingga pukul 2.00 petang bagi pemerhati di Sabah, manakala fenomena tersebut akan tamat lebih awal, iaitu sekitar pukul 1.00 tengah hari bagi pemerhati di Semenanjung dan pukul 1.30 petang bagi pemerhati di Sarawak.\n\u201cLitupan permukaan matahari ketika maksimum adalah berbeza antara satu kawasan dengan kawasan yang lain, iaitu di Langkawi hanya pada kadar satu peratus, 8.4 peratus di Kuala Lumpur dan di Tawau, manakala Sabah pula yang paling tinggi, iaitu 43 peratus,\u201d jelasnya ketika bersiaran dalam Rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), semalam.\nBeliau berkata pihak Planetarium Negara akan menganjurkan Program Pencerapan Gerhana Matahari Separa 2023 di perkarangan Planetarium Negara Kuala Lumpur dan di perkarangan Perpustakaan Tawau.\nSelain itu, cermin mata gerhana (eclipse glasses) percuma juga bakal diedarkan di kedua-dua lokasi tersebut bagi membolehkan pengunjung menyaksikan fenomena itu dengan selamat.\n\u201cBeberapa teleskop dengan penuras khas juga akan disediakan oleh pihak Planetarium Negara supaya para pengunjung boleh menyaksikan keadaan itu dengan lebih jelas dan selamat,\u201d ujarnya.\nSelain itu, penstriman langsung di laman Facebook dan Youtube Planetarium Negara juga akan turut disediakan untuk rakyat Malaysia.\nBeliau juga mengingatkan orang ramai untuk tidak melihat matahari secara terus tanpa menggunakan penuras khas kerana boleh merosakkan retina mata dan boleh mengakibatkan buta kekal.\n\u201cAir laut mungkin akan mengalami pasang yang lebih besar dan tinggi selain cuaca akan berubah menjadi kelam seperti senja,\u201d katanya.\nBeliau berkata masyarakat juga mungkin boleh memerhatikan fenomena alam seperti burung yang akan terbang kembali ke sarang masing-masing kerana beranggapan hari sudah malam.\nGerhana matahari berlaku apabila kedudukan bulan terletak di antara bumi dan matahari.\nKeadaan ini akan menyebabkan bulan menutupi cahaya matahari, sama ada sebahagian atau sepenuhnya." "93 Orang Pelajar SMK Dato\u2019 Mohd Said Terima Cermin Mata Percuma\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNilai \u2013 Klinik Optometri Bergerak, Program Optometri dan Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Pejabat Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan, Industri dan Masyarakat (HEJIM), FSK, UKM telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Cermin Mata kepada 93 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato\u2019 Mohd Said, hari ini.\nMajlis Penyerahan Cermin Mata yang disempurnakan oleh Pegawai Optometri Kanan, Program Optometri dan Sains Penglihatan, FSK, UKM, Puan Norlaili Arif merupakan acara kemuncak bagi perkhidmatan Klinik Optometri Bergerak, UKM tersebut yang telah dilaksanakan sejak 8 Januari 2023 lalu.\n\u201cSetinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih daripada warga SMK Dato\u2019 Mohd Said kepada pihak UKM yang menganjurkan program ini dan pelbagai aktiviti kesedaran untuk meningkatkan kesedaran berkaitan dengan kesihatan mata seharusnya dilakukan lagi pada masa akan datang,\u201d ujar Pengetua SMK Dato\u2019 Mohd Said, YBhg. Datin Sri Nurul Hidayah.\nKlinik Optometri Bergerak, UKM ialah satu daripada perkhidmatan klinikal yang disediakan oleh FSK, UKM dengan menyediakan perkhidmatan ujian saringan dan pemeriksaan penglihatan serta menjalankan program kesedaran bagi meningkatkan kualiti kesihatan mata dalam kalangan masyarakat.\nPelbagai masalah penglihatan telah dapat dikesan semasa ujian saringan dan pemeriksaan penglihatan dilakukan terhadap 195 orang pelajar SMK Dato\u2019 Mohd Said pada 8 Januari 2023 lalu yang kebanyakannya mengalami miopia atau rabun jauh (103 orang) dan hiperopia atau rabun dekat (17 orang) serta selebihnya menghadapi masalah penglihatan terhad disebabkan oleh masalah rabun yang sangat tinggi.\nBerdasarkan rekod, daripada 195 orang pelajar yang telah disaring, sebanyak 40 orang pelajar tidak pernah menjalani pemeriksaan mata di mana-mana premis pemeriksaan awam ataupun swasta.\nSelain berperanan dalam meningkatkan kesedaran awam, perkhidmatan Klinik Optometri Bergerak, UKM ini juga ialah satu daripada aktiviti pengajaran dan pembelajaran di bawah Program Optometri dan Sains Penglihatan yang membuka ruang kepada pelajar dalam bidang optometri mengasah kemahiran klinikal mereka melalui perjumpaan dengan masyarakat di luar bilik kuliah.\nSementara itu, pemberian cermin mata percuma ini dapat membantu pelajar SMK Dato\u2019 Mohd Said yang kurang berkemampuan dan memberikan tahap penglihatan yang lebih jelas serta membantu pelajar dalam menjalani proses pembelajaran yang lebih baik di sekolah.\nKlinik Optometri Bergerak, UKM juga amat mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak sama ada dalam bentuk kewangan ataupun cermin mata agar kesinambungan dalam memberikan sumbangan kepada komuniti dapat diteruskan pada masa akan datang.\nTurut hadir dalam majlis tersebut ialah wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru, YBrs. Dr. Kamal Abd Aziz dan barisan guru SMK Dato\u2019 Mohd Said." "Rawatan Pemintasan untuk Masalah Gigi Kanak-kanak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Rawatan pemintasan merupakan langkah rawatan pintasan dan pencegahan awal bagi mengelakkan rawatan pendakap gigi\u00a0serta mengurangkan komplikasi pengunaan pendakap gigi pada masa akan datang dalam kalangan kanak-kanak.\nHal ini turut dijelaskan secara terperinci oleh Pakar Ortodontik dan Pensyarah di Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Asma Ashari dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia yang membincangkan topik \u201cRawatan Pendakap Gigi (braces) Pemintasan (interceptive) untuk Si Kecil\u201d, baru-baru ini.\nMenurut beliau, antara tanda yang menunjukkan kanak-kanak berkenaan memerlukan rawatan pemintasan apabila gigi ke hadapan, yakni gigi atas dan gigi bawah mempunyai jarak yang ketara; gigi yang bersilang, yakni gigi kacip bawah terletak di hadapan gigi kacip atas; gigi berlapis akibat tabiat menghisap jari yang sukar dihentikan dan kehilangan gigi susu terlalu awal.\nBanyak kajian yang menunjukkan bahawa orang yang gigi ke hadapan sewaktu kanak-kanak, mereka lebih cenderung untuk trauma. Apabila mereka jatuh, 50 peratus daripada mereka cenderung untuk trauma berbanding dengan kanak-kanak yang mempunyai gigi biasa. Ada juga kanak-kanak yang diejek dan memberikan kesan psikologi kepada mereka.\n\u201cOleh sebab itu, untuk kanak-kanak yang memerlukan rawatan awal ini, kami menyarankan jika mereka mempunyai risiko untuk trauma. Misalnya, mereka pernah mengalami patah gigi, banyak bermain sukan atau jika pernah diejek atau dibuli, kami mencadangkan untuk memulakan rawatan pemintasan dengan lebih awal,\u201d tegas beliau lagi.\nBeliau turut menjelaskan bahawa sekiranya gigi susu kekal dibiarkan di dalam mulut, hal tersebut akan menyebabkan gigi kekal yang hendak tumbuh akan berlapis.\nSelain itu, apabila gigi susu dicabut terlalu awal, keadaan tersebut akan menganggu ruang pertumbuhan gigi kekal.\n\u201cPenyelesaian yang terbaik ialah dengan menjalani rawatan pemintasan yang akan membantu menjaga setiap ruang pertumbuhan gigi kekal mengikut ruang yang sepatutnya untuk gigi kekal tersebut tumbuh,\u201d hurainya lagi.\nJelasnya lagi, gigi kekal yang terbenam lama di dalam gusi atau tulang geraham akan menyebabkan sista yang boleh merosakkan gigi yang bersebelahan.\nHal ini dikatakan demikian kerana apabila gigi berkenaan berada di tempat yang salah, akar gigi yang bersebelahan berupaya dihakis.\n\u201cIbu bapa perlu melihat gigi anak-anak kita, terutamanya apabila mereka sudah besar. Gigi susu ini selalunya berwarna putih sedikit berbanding gigi kekal. Jika perlu, lakukan pemeriksaan dengan doktor gigi untuk memastikan bahawa tidak ada gigi kekal yang terbenam,\u201d ujarnya mengakhiri perbincangan." "Panjut Suria Penyambung Tradisi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPanjut ialah warisan tradisi yang unik yang sering dikaitkan dengan malam terakhir menjelang Aidilfitri. Dalam kalendar Islam, 10 malam terakhir adalah tempoh yang ditunggu-tunggu untuk memperbanyakkan amal ibadah kerana satu dari malam tersebut tersimpan satu rahsia yang dikatakan lebih baik daripada seribu bulan sebagaimana yang disebut dalam al-Quran.\nDisebabkan malam itu tidak diketahui, maka umat Islam lazimnya akan menggandakan amalan dengan berjaga sepanjang malam pada 10 malam terakhir tersebut. Dari sinilah timbulnya ilham dalam kalangan masyarakat Melayu untuk memasang panjut pada sebelah malam untuk menerangi pekarangan rumah dan jalan, khususnya jalan yang menuju ke tempat solat, sama ada surau, madrasah atau masjid di samping menaikkan semangat untuk berjaga malam kerana suasana yang cerah dan terang-benderang.\nPanjut dipasang dengan cara menyalakan pelita yang menggunakan bahan semula jadi seperti kayu, buluh, tali guni dan minyak tanah serta bahan terpakai seperti tin susu dan yang seumpama dengannya. Bagi mencantikkan pemandangan, pelita itu kemudiannya disusun mengikut kreativiti masing-masing sehingga membentuk seni bina atau menara yang indah.\nSejajar dengan perkembangan teknologi, panjut juga telah mengalami perubahan. Akhir-akhir ini, panjut yang menggunakan kuasa suria telah diperkenalkan. Jika dilihat dari sudut yang positif, panjut yang berasaskan teknologi yang terkini ini mampu menawarkan beberapa kelebihan seperti dapat mengurangkan pelepasan gas karbon dan tidak perlu mengisi minyak tanah setiap kali habis digunakan, sekali gus menjimatkan wang bagi pembelian minyak tanah.\nNamun begitu, kekurangannya pula dari segi terbatasnya kreativiti kerana panjut ini tidak boleh disusun membentuk seni bina, melainkan hanya boleh didirikan di atas tanah. Mungkin kreativiti tersebut boleh dialihkan daripada seni bina kepada landskap yang menarik.\nHal ini dikatakan demikian kerana panjut berkuasa suria yang dimaksudkan merujuk lampu rumput luaran berkuasa suria yang boleh hidup atau mati secara automatik tanpa memerlukan kawalan atau pengawasan. Lampu jenis ini lazimnya dihasilkan dalam skala yang besar dan kebanyakan pengeluarnya berpangkalan di China memandangkan bekalan bahan mentah serta tenaga kerja boleh didapati dengan mudah dan murah di sana.\nAntara pengeluar lampu jenis ini ialah Zhongshan Xiuben Lighting Co. Ltd. atau lebih dikenali sebagai Xiuben Lighting yang menghasilkan produk dengan jenama Donta dan Xiuben. Selain mengeluar dan memasarkan produk, syarikat ini memiliki pusat penyelidikan sendiri.\nSehingga kini, syarikat tersebut telah berjaya mendapat keluluasan harta intelek dalam 18 unit reka cipta yang meliputi penampilan produk dan model utiliti. Syarikat ini juga turut menjalankan pembangunan dalam bidang teknologi kawalan fotoelektrik pintar pelbagai fungsi, sensor inframerah dan sensor radar.\nBerbalik kepada lampu rumput luaran berkuasa solar, satu daripada model keluaran Xiuben Lighting yang boleh digunakan sebagai panjut ialah model Donta 5W. Model ini bagaimanapun bukanlah jenis mudah alih kerana tapaknya perlu diikat dengan skru.\nModel ini mempunyai tiga tahap ketinggian, iaitu 34 sentimeter, 57 sentimeter dan 80 sentimeter. Apabila dipasang, panel surianya akan menghadap ke atas bagi membolehkannya menyimpan cahaya matahari pada waktu siang dan menukarkannya sebagai bekalan kuasa elektrik pada saat ketiadaan cahaya.\nBadan model lampu ini diperbuat daripada aluminium yang anti-kakis dan kalis air. Sifat anti-kakis menghalang pembentukan karat selepas terdedah di luar dalam tempoh yang lama.\nModel ini turut dibekalkan dengan pek bateri berkapasiti 4.4 ampere-jam (Ah) terbina dalam dan tidak memerlukan sebarang pengguna wayar luaran. Selain menjimatkan elektrik, model ini juga lebih mesra alam kerana tidak membebaskan karbon dalam kuantiti yang besar di samping mempunyai teknologi pengecasan suria yang cekap.\nModel ini akan bernyala secara automatik dalam suasana yang gelap dan tertutup apabila sekitarnya disinari cahaya. Dengan kata lain, lampu ini akan bernyala pada waktu malam dan tertutup menjelang pagi. Ketika menyala, kecerahannya ialah 100 peratus dalam tempoh antara satu jam hingga empat jam, 50 peratus dalam tempoh lima jam hingga lapan jam dan 30 peratus dalam tempoh sembilan jam hingga 12 jam.\nJangka masa pengecasan bagi model ini adalah sekitar enam jam bergantung pada sinar cahaya yang diterimanya. Sekiranya hujan, model ini masih mampu menyimpan tenaga dan boleh berfungsi dalam tempoh tiga hari hingga lima hari sebelum dicas semula secara optimum.\nSpesifikasi kalis airnya berada pada kelas IP65 yang memberikan perlindungan daripada pancutan air bertekanan rendah dari mana-mana arah serta pemeluwapan dan semburan air. Dengan kata lain, panel surianya masih boleh berfungsi dengan baik walaupun ditimpa hujan. Namun untuk cuaca yang ekstrim, kalis air pada kelas IP67 lebih sesuai digunakan.\nPemasangannya jika kena dengan gayanya akan mencantikkan susun atur halaman rumah di samping tidak mengganggu laluan atau mencemaskan kanak-kanak dan haiwan peliharaan. Selain boleh berfungsi sebagai panjut pada malam menjelang lebaran, model lampu ini juga boleh memberikan pencahayaan tambahan kepada susur halaman yang boleh dimanfaatkan pada setiap hari.\nPengeluar lampu rumput luaran suria berikutnya ialah Sresky yang beribu pejabat di Shenzen, China. Produk utamanya ialah lampu suria, manakala pasaran utamanya tertumpu ke Amerika Utara dan Eropah Selatan selain negara asalnya, iaitu China. Satu daripada produknya yang boleh dijadikan panjut ialah lampu taman suria ESL-25PRO.\nAntara keistimewaannya termasuklah model ini boleh dinyalakan secara automatik oleh penderia sinar. Pada masa yang sama, model ini mempunyai tiga pilihan pencahayaan selain optik yang digunakan mampu menyerakkan cahaya dengan seragam.\nSelain itu, pencahayaan bagi model ini boleh diprogramkan. Pencahayaannya tidak mengandungi risiko fotobiologi. Hal ini dikatakan demikian kerana pencahayaan bagi model ini berada dalam Kumpulan Terkecuali, iaitu tiada risiko yang dapat dikaitkan dengan inframerah, cahaya biru dan sinaran ultraungu menurut piawaian EN 62471:2008.\nModel ini dilengkapi dengan sistem kawalan aktif yang menggunakan teknologi advanced light source (ALS) yang boleh mengubah keamatan cahaya untuk mengekalkan pencahayaan walaupun dalam keadaan cuaca buruk. ALS boleh diterjemahkan sebagai sumber cahaya lanjutan yang berperanan mengoptimumkan sistem diod pancaran cahaya (LED) dari aras terendah.\nKelebihan ALS yang lain ialah berupaya meningkatkan kecekapan foton, meningkatkan prestasi warna dengan ketara dan juga menyediakan kawalan arah yang tepat mengikut aras LED.\nSama seperti model Donta, model keluaran Sresky ini juga mempunyai spesifikasi anti-kakis dan kalis air mengikut kelas IP65. Badannya diperbuat dari bahan aluminium dan perlu diikat dengan skru, iaitu bukan dari jenis mudah alih.\nModel jenis mudah alih pula disebut sebagai Lampu LED suria pancang api yang boleh dibeli secara dalam talian dengan harga dari RM20 hingga RM140 seunit atau sekotak (mengandungi satu unit hingga enam unit) melalui laman web seperti Shopee dan Lazada.\nTidak seperti model yang diikat dengan skru yang biasanya diperbuat daripada aluminium, model mudah alih diperbuat dari akrilonitril-butadiena-stirena (ABS) yang merujuk termoplastik legap yang terdiri daripada polimer amorf yang merangkumi tiga monomer, iaitu akrilonitril, butadiena dan stirena. Dengan bahasa mudah, badannya diperbuat dari bahan plastik.\nSekiranya model ini dicas dibawah sinaran matahari yang optimum selama tiga jam hingga lima jam, lampu ini boleh menyalakan cahaya selama enam jam hingga lapan jam sebelum dicas semula. Model ini dilengkapi dengan sistem kalis air mengikut kelas IP65, namun disarankan tidak terendam dalam air terlalu lama. Prinsipnya adalah sama seperti model jenis yang diikat skru, iaitu dicas secara automatik dan dihidupkan serta dimatikan secara automatik.\nJenama bagi model mudah alih seperti yang dipaparkan di atas dikenali dengan nama Sunlisen yang diperbuat di Shandong, China. Jangka hayat LED bagi model ini adalah selama 50 ribu jam, manakala jangka hayat kefungsian model ini adalah selama 17 500 jam. Jika ditukarkan kepada tahun, model boleh digunakan dalam tempoh lima tahun atau lebih.\nWalaupun model ini dicas dan dihidupkan secara automatik, fungsi butang yang disediakan membolehkan lampu ini dimatikan dan dihidupkan pada bila-bila masa. Dengan berat sekitar 300 gram dan ketinggian 32 sentimeter, model jenis mudah alih ini sangat senang untuk dipasang atau dipindahkan ke mana-mana tempat yang dirasakan sesuai.\nModel ini mempunyai kelebihan dari segi badannya yang diperbuat daripada aluminium, namun sifat kalis airnya dikelaskan pada tahap IP55. Pengeluarnya, Chongqing bukanlah nama baharu dalam industri sebaliknya terlibat dalam pembangunan lampu luaran lanskap sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu.\nSyarikat ini pernah memenangi pingat emas dalam acara antarabangsa Brussels Eureka International Invention yang diadakan pada tahun 1992 dan pernah membanggakan China kerana menjadi pengeluar pertama yang berjaya mendapatkan hak cipta harta intelek bagi pembangunan lampu discaj bawah air.\nPanjut berteknologi baharu ini tidak mungkin dapat menggantikan panjut tradisional yang kaya dengan nilai estetika, namun kehadirannya dapat memberikan kelegaan kepada golongan yang ingin memiliki panjut di rumah tetapi tidak mempunyai banyak masa untuk membuat pemasangan dan penyelenggaraan.\nDi samping itu, kehadiran panjut ini dapat menambahkan seri laman selain dapat digunakan pada bila-bila masa dalam tempoh yang lama." "Pelajar FISS Peroleh Pengalaman Melakukan Penyiasatan Kejadian Jenayah Secara Langsung\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pelajar Frontier International Secondary School (FISS) berpeluang merasai pengalaman dalam penyiasatan kejadian jenayah (CSI) secara langsung menerusi program CSI yang diadakan di sekolah sebagai satu usaha menggalakkan pelajar meminati bidang sains.\nDalam program berkenaan, para peserta didedahkan dengan pengenalan tentang sains forensik oleh Pensyarah Universiti, Pusat Kajian Diagnostik, Terapeutik dan Penyiasatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBrs. Profesor Madya Dr. Khairul Osman diikuti dengan pengenalan identifikasi cap jari yang merupakan ciri penting dalam penyiasatan sains forensik.\nSemasa program tersebut berlangsung, peserta diperlihatkan tentang cara untuk mencari cap jari pendam (latent) yang boleh diperoleh daripada tempat kejadian jenayah dengan menggunakan serbuk hitam dan berus serta pengewapan sianoakrilat.\nPeserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan penyiasat dan berpeluang untuk melihat contoh tempat kejadian jenayah yang telah disediakan dan seterusnya perlu mengesan cap jari pendam pada bahan bukti yang telah dibekalkan dengan menggunakan serbuk hitam dan pengewapan sianoakrilat.\nPada masa yang sama, peserta juga dapat menambah ilmu pengetahuan tentang proses penimbulan cap jari dengan menggunakan sianoakrilat yang perlu dilakukan dalam kebuk wasap atau sebuah bekas plastik tertutup kerana sianoakrilat adalah berbahaya kepada kesihatan, berbau busuk dan boleh memedihkan mata.\n\u00a0\nSepanjang program ini berlangsung selama tiga jam, peserta dilihat mampu untuk membuat deduksi berkenaan dengan penjenayah yang terlibat dalam kes yang diberikan sekali gus membuktikan bahawa program yang dilaksanakan ini sangat bermanfaat dalam membantu mewujudkan generasi muda yang suka akan bidang sains.\nTurut hadir dalam program tersebut ialah barisan guru FISS; Pensyarah Universiti, Pusat Kajian Diagnostik, Terapeutik dan Penyiasatan, UKM, YBrs. Dr. Gina Francesca Gabriel; Pensyarah Perubatan, Pusat Kajian Diagnostik, Terapeutik dan Penyiasatan, UKM, YBrs Dr. Noor Hazfalinda Hamzah; Pegawai Sains, Pusat Kajian Diagnostik, Terapeutik dan Penyiasatan, UKM, ChM Puan Rogayah Abu Hassan; dan dua orang pelajar pascasiswazah, Program Sains Forensik, Fakulti Sains Kesihatan, UKM, iaitu Puan Suvitraa Paramasivam dan Puan Naadiah Ahmad Mazlani." "NRECC Bersedia Tangani Fenomena El Nino dan Krisis Air\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui agensinya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersedia menangani fenomena El Nino yang melanda Malaysia dari April 2023 hingga September 2023 yang memberikan impak negatif kepada negara ini akibat kuantiti hujan yang berkurangan berdasarkan analisis dan pemodelan cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).\nParas air sungai menurun dan empangan menjadi kering disebabkan oleh cuaca kering dan kuantiti air mentah yang boleh diolah juga berkurangan ialah satu daripada isu kritikal yang perlu diberikan perhatian yang sewajarnya.\nOleh yang demikian, NRECC dalam satu kenyataan memaklumkan akan memantau semua aras air sungai dan empangan yang membekalkan air mentah kepada loji rawatan air.\nPelan Tindak Balas Kecemasan (ERP) untuk bekalan air jika paras air sungai dan empangan menjadi terlalu rendah juga diaktifkan serta semua sumber air diteroka untuk meningkatkan ketersediaan bekalan air mentah semasa musim kemarau termasuklah mengeksploitasi air di bawah tanah ataupun tasik.\nDalam kenyataan tersebut juga menyatakan bahawa orang ramai digalakkan untuk menjimatkan penggunaan air bagi kegunaan harian, terutamanya semasa cuaca kering, manakala pihak industri dan pengguna komersial dinasihatkan agar melaksanakan langkah penjimatan air terhadap operasi yang dilakukan.\nPada masa yang sama, tindakan sekatan terhadap penggunaan air yang tidak penting boleh dilakukan jika diperlukan, terutamanya ketika berada dalam situasi kritikal; meningkatkan kecekapan operasi pengendali air; dan melakukan penghasilan awan di empangan serta kawasan tangkapan untuk meningkatkan air permukaan.\nSusulan itu, NRECC juga mengambil inisiatif dengan menyediakan sokongan logistik dalam memobilisasi bekalan air seperti trak tangki dan tangki statik di kawasan yang terjejas serta pengagihan air akan dilaksanakan sekiranya sumber air tidak mencukupi untuk bekalan air normal.\nBagi memastikan bekalan air mentah sentiasa mencukupi, empangan dibina untuk menyimpan dan mengawal aliran sungai untuk membekalkan air mentah ke loji rawatan air.\nBerdasarkan rekod, sebanyak 24 empangan bekalan air di seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan dipantau secara aktif setiap hari oleh SPAN dan hampir kesemua empangan tersebut telah mencapai paras penyimpanan air lebih daripada 80 peratus.\nBeberapa empangan seperti empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang, empangan Air Itam, Pulau Pinang, empangan Sungai Lebam, Johor, empangan Upper Layang, Johor, empangan Sembrong, Johor dan empangan Muda, Kedah didapati mempunyai bekalan air sekitar 60 peratus.\nSementara itu, empangan Mengkuang, Pulau Pinang dengan kapasiti sebanyak 73 juta meter padu telah dinaik taraf atau diperbesarkan di bawah pembiayaan Kerajaan Persekutuan yang telah disiapkan pada tahun 2017.\nDi Johor pula, empangan Linggiu ialah empangan bekalan air yang terbesar di Semenanjung Malaysia dan kini telah mencapai penyimpanan air sebanyak 100 peratus untuk mengawal aliran Sungai Johor yang mempunyai tujuh loji rawatan air utama.\nSelain itu, projek pemindahan air mentah dari Sungai Sedili Besar ke empangan Upper Layang dan empangan Sungai Lebam melalui empangan Seluyut yang telah siap pada tahun 2017 dapat memindahkan air mentah ke loji rawatan air yang membekalkan air ke selatan Johor.\nPengumuman kepada orang ramai tentang status bekalan air semasa dan bersedia untuk meminimumkannya kesan kekurangan air ketika musim kemarau yang berpanjangan akan dimaklumkan oleh operator air dari semasa ke semasa.\nAgensi Pengurusan Bencana Negara dengan kerjasama Kementerian Pertahanan Malaysia dan METMalaysia turut terlibat dalam pengurusan situasi kekurangan air untuk aktiviti pembenihan awan.\nSelaras dengan Malaysia MADANI yang memberikan fokus kepada kecekapan dan berhemat dalam mendorong pembangunan lestari dan penggunaan sumber daya yang bertanggungjawab, pengguna dinasihatkan agar menjimatkan air dan sentiasa menggunakan air dengan bijak." "Yayasan Sultanah Bahiyah Sumbang Wang Tunai kepada Pesakit Buah Pinggang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "ReNeU UiTM Anjur Bengkel Penerbitan Penyelidikan dalam Bidang Sains dan Teknologi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Bengkel Scoping Review Design in Healthcare: Let\u2019s Do It! anjuran kluster Health and Wellness\u00a0(HW), Neksus Penyelidikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) atau ReNeU telah diadakan di Bangunan Wawasan, UITM Shah Alam, hari ini untuk meningkatkan\u00a0kualiti penerbitan dalam bidang sains dan teknologi.\nBengkel selama satu hari ini memberikan peluang kepada ahli akademik dan pelajar pascasiswazah dari dalam dan luar UiTM untuk menaikkan tahap kualiti penerbitan dalam penyelidikan yang memberikan peluang kepada beberapa disiplin dalam bidang kesihatan dan kesejahteraan.\nMenurut Pengarah ReNeU, Profesor Ts. Dr. Mohd Rozi Ahmad dalam ucapan perasmiannya, sudah tiba masanya untuk pihak UiTM berkongsikan pengetahuan dan kepakaran dengan pihak luar, terutama industri dan masyarakat.\nKami mengharapkan manfaat daripada pemindahan pengetahuan dan teknologi ini dapat dirasai dan diterjemahkan dalam bentuk pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih mampan dan peningkatan kesejahteraan serta kualiti hidup rakyat secara amnya.\nTimbalan Pengarah HW, ReNeU, Profesor Dr. Mohd Yusmiaidil Putera Mohd Yusof yang dilantik sebagai penceramah jemputan bagi bengkel ini berkata penyelidikan yang berimpak akan memberikan ketampakan kepada dunia luar.\n\u201cHal ini secara tidak langsung akan mengangkat martabat institusi yang diwakili oleh penyelidikan tersebut pada peringkat yang lebih tinggi,\u201d sambungnya lagi.\nBengkel yang diadakan ini adalah selaras dengan bidang keutamaan sains, teknologi dan inovasi negara seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas dan Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi Malaysia (MySTIE).\n\u00a0\nDalam Perutusan Tahun Baharu 2023 baru-baru ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato\u2019 Seri Mohamed Khaled Nordin juga telah berazam untuk memberikan tumpuan dan keutamaan kepada tiga perkara utama, iaitu pendigitalan, penyelenggaraan dan menaik taraf serta penyelidikan.\nUiTM berpegang kepada elemen\u00a0pengajaran dan pembelajaran yang menjadi teras utama dalam ekosistem di UiTM di samping menggalakkan aktiviti penyelidikan.\nBagi meningkatkan keternampakan fungsi sesebuah institusi pendidikan tinggi, UiTM mengambil langkah bersama-sama dalam memajukan penyelidikan dan memanfaatkan kekuatannya dalam bidang intelektual yang akan memberikan kesan kepada komuniti, teknologi, ekonomi dan masyarakat." "Makan dengan Sihat pada Hari Raya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSetelah menjalani ibadah puasa selama sebulan, kini tiba sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dinanti-nantikan oleh umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia. Setelah sebulan berpuasa, tentunya amalan pemakanan akan berubah menjelang sambutan Aidilfitri. Persoalannya, adakah kita mempunyai ilmu pemakanan yang mencukupi semasa menyambut lebaran ini?\nPemakanan merupakan aspek yang penting dalam kehidupan manusia. Makanan bukan sahaja memberikan rasa kenyang, malah menyumbang kepada tenaga untuk kegunaan harian manusia. Amalan pemakanan sihat dapat membantu dalam mencegah penyakit, menyokong pertumbuhan sel baharu dan sihat serta memenuhi keperluan tubuh yang berdepan dengan cabaran fizikal, emosi dan mental.\nKeperluan Tenaga Harian untuk Dewasa\nSecara umumnya, keperluan tenaga bergantung pada penggunaan tenaga. Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi keperluan tenaga.\nUsia yang meningkat akan menyebabkan sesetengah organ menjadi lebih aktif secara metabolik, seterusnya meningkatkan keperluan tenaga. Selain itu, jantina juga mempengaruhi keperluan tenaga seperti lelaki memerlukan tenaga yang lebih tinggi berbanding wanita.\nKepelbagaian antara individu juga akan mempengaruhi keperluan tenaga. Sebagai contohnya, individu yang aktif bersukan memerlukan lebih tenaga harian berbanding dengan individu yang mengamalkan gaya hidup sedentari. Bagi individu yang tinggal di negara empat musim pula, keperluan tenaga mereka adalah berbeza mengikut musim dan perubahan cuaca.\nKonsep Keseimbangan Tenaga\nAnalogi mudah bagi memahami konsep keseimbangan tenaga adalah dengan merujuk kepada permainan jongkang-jongket yang melibatkan dua komponen, iaitu pengambilan tenaga daripada makanan dan penggunaan tenaga daripada aktiviti harian.\nPengambilan tenaga yang melebihi penggunaan tenaga akan menyebabkan keseimbangan tenaga positif. Keadaan ini akan menyebabkan kenaikan berat badan.\nBerlainan pula sekiranya penggunaan tenaga melebihi pengambilan tenaga, iaitu keseimbangan tenaga negatif, maka keadaan tersebut akan menyebabkan penurunan berat badan. Tiada perubahan berat badan akan dialami sekiranya jumlah tenaga yang diambil dan digunakan adalah sama.\nHarus diketahui bahawa aasaran pemakanan setiap individu adalah berbeza, iaitu sama ada meningkatkan, menurunkan atau mengekalkan berat badan. Oleh itu, dengan mengetahui sasaran ini, maka kita boleh merancang amalan pemakanan harian kita.\nKaedah paling mudah untuk mengetahui status pemakanan adalah dengan mengira indeks jisim tubuh (IJT) seperti yang berikut:\nSetelah nilai IJT telah diperoleh, jadual seperti di bawah boleh dirujuk untuk mengetahui status pemakanan kita.\nJadual 1 Kategori IJT dan berat badan.\n\nPinggan Sihat Malaysia\nAntara kaedah yang praktikal dalam mengamalkan pemakanan sihat termasuklah dengan menggunakan konsep pinggan sihat Malaysia atau suku suku separuh (3S). Secara ringkasnya, konsep ini boleh difahami dengan membahagikan pinggan makan kepada tiga bahagian.\nDalam aspek ini, perkara yang paling penting untuk ditingkatkan ialah pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan, iaitu separuh daripada pinggan makan. Pastikan kita mengambil makanan daripada kumpulan ini pada setiap hari.\nDalam konteks lebaran misalnya, sekiranya memilih hidangan lontong, maka lebihkan sayur-sayuran daripada kuah lodeh. Sekiranya sukar, maka anda boleh mengamalkan pengambilan buah-buahan sebelum makan makanan utama.\nSeterusnya, bahagian suku pertama merujuk makanan daripada sumber protein. Secara umumnya, makanan daripada kumpulan ini sangat mudah untuk diperoleh semasa hari raya. Antara menu makanan yang termasuk dalam kategori ini termasuklah rendang ayam dan daging serta kuah kacang.\nBahagian suku yang terakhir pula ialah makanan daripada kumpulan karbohidrat seperti ketupat nasi dan lemang.\n\u00a0\n\u00a0\nPilih Makanan yang Lebih Sihat\nPerkara yang paling utama dalam menyambut hari raya ialah kawalan diri dalam pemilihan makanan. Ilmu pemakanan yang ada amat penting, namun kemampuan diri untuk mengamalkan pemakanan sihat adalah lebih utama.\nAsas yang utama ialah makan makanan dalam hidangan dan kuantiti yang kecil. Hal ini merupakan cabaran yang amat besar memandangkan hari raya merupakan waktu yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan orang untuk menikmati pelbagai hidangan yang lazat. Namun begitu, sekiranya kita mempunyai mentaliti bahawa makan dengan jumlah yang sikit adalah lebih baik berbanding dengan makan dalam jumlah banyak, hal ini boleh membantu dalam mengawal pengambilan makanan kita.\nBagi pemilihan makanan yang sihat, utamakan pengambilan makanan yang rendah kalori. Secara mudahnya, makanan yang rendah kandungan minyak, santan dan gula selalunya mempunyai kalori yang lebih rendah. Misalnya, kalori daripada hidangan bihun sup adalah lebih rendah berbanding dengan mi kari.\nTips seterusnya adalah dengan mengehadkan pengambilan makanan dan minuman manis. Hal ini dikatakan demikian kerana penambahan gula akan meningkatkan kandungan kalori.\nPilihlah untuk minum air kosong berbanding dengan air yang manis dan air berkarbonat. Jangan segan membawa bekalan air kosong sendiri sekiranya anda memenuhi undangan rumah terbuka. Selain itu, hadkan pengambilan makanan manis seperti dodol, wajik dan kuih raya.\nSelain gula, pengambilan garam juga perlu dikawal. Secara umumnya, garam terdapat dalam kebanyakan makanan seperti hidangan utama dan kudapan seperti kerepek. Pastikan juga anda makan dengan penuh kesedaran. Sekiranya anda tidak memerhatikan sebarang makanan yang dimakan, maka terdapat kecenderungan untuk mengambil makanan secara berlebihan.\nContoh mudah jika dirujuk kepada pengambilan kerepek. Sekiranya diambil ketika menonton televisyen atau ketika bersembang, maka ada kemungkinan kerepek tersebut akan dimakan terlalu banyak.\nJadual 2 Perbandingan antara makanan tinggi kalori dengan makanan alternatif yang lebih rendah kalori.\n\nSebagai kesimpulannya, marilah kita bersama-sama mengamalkan pemakanan sihat semasa hari raya. Sekiranya anda bakal menjemput tetamu untuk rumah terbuka, maka sediakan juga pilihan makanan sihat untuk dihidangkan.\nIngatlah, raya hanya sekali, namun sekiranya pengambilan makanan kita tidak dikawal, makan kesan buruknya mungkin berpanjangan terhadap kesihatan kita.\n\u00a0\nDr. Hanis Mastura Yahya, Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia." "Tiada Ancaman Tsunami kepada Malaysia Susulan Gempa Bumi di Kepulauan Kermadec\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Gempa bumi kuat berukuran 7.3 magnitud telah melanda wilayah Kepulauan Kermadec pada pukul 8.41 pagi ini.\nMenurut Jabatan Metereologi Malaysia, gegaran tersebut berlaku pada jarak 1037 kilometer timur laut dari Tauranga New Zealand pada kedalaman 75 kilometer pada koordinat 29.9 darjah selatan dan 177.6 darjah barat.\nWalau bagaimanapun, kejadian ini tidak memberikan ancaman tsunami kepada Malaysia.\nTerdahulu pada awal bulan ini, Kementerian Sumber Asli, Alam sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melaporkan Malaysia berkemungkinan untuk menghadapi gempa bumi berdasarkan bukti empirikal.\nWalau bagaimanapun, sebagai langkah mitigasi jangka masa panjang, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah menjalankan program libat urus dengan pihak berkepentingan dalam aplikasi penggunaan peta bahaya seismik.\nUntuk rekod, gegaran gempa bumi kuat berpusat di Malaysia pernah berlaku dengan kekuatan 6.0 skala Richter hingga 6.3 skala Richter di Sabah pada tahun 1923, tahun 1958, tahun 1976 dan tahun 2015.\nDi Semenanjung Malaysia juga turut pernah berlakunya beberapa gegaran gempa bumi dengan julat kekuatan antara 1.6 skala Ritcher hingga 4.6 skala Ritcher pada tahun 1984, tahun 1985, tahun 1987, tahun 2007, tahun 2009, tahun 2010 dan tahun 2013." "Akta DBP 1959 akan Dipinda \u2013 YAB Perdana Menteri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0\u00a0Kerajaan akan meminda Akta Dewan Bahasa (DBP) 1959 sebagai usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu, sekali gus menjadikannya sebagai bahasa ilmu. Jelas Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Ismail Sabri Yaakob, Akta DBP yang ada ketika ini tidak memberikan kuasa kepada agensi kerajaan itu untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan bahasa. Menerusi pindaan tersebut, DBP akan memperoleh kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pelanggaran bahasa Melayu di semua peringkat sama ada di peringkat daerah, negeri dan persekutuan.\n\u201cBahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan sejak negara merdeka pada tahun 1957 seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sebagai Perkara 152 (1). Sehubungan dengan\u00a0itu, langkah memartabatkan bahasa Melayu juga merupakan usaha menjunjung tinggi Perlembagaan Negara.\u201d\nTambah beliau, banyak negara yang mencapai status negara maju dengan mendaulatkan bahasa sendiri. Sehubungan dengan itu, rakyat negara ini sepatutnya mempunyai jati diri dan membuktikan bahawa usaha mendaulatkan bahasa Melayu tidak mengekang kemajuan negara.\n\u201cDBP juga perlu menjalani proses transformasi dan peralihan paradigma daripada Akta DBP 1959 yang hanya memperuntukkan kuasa Lembaga Pengelola dalam pelaksanaan prasarana badan itu kepada peranannya yang sewajarnya. Oleh itu, peranan dan tanggungjawab DBP sebagai badan perancangan bahasa, sastera dan penerbitan negara perlu dirincikan dengan lebih jelas supaya peranannya lebih berkesan untuk mendukung dan melaksanakan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan dan undang-undang lain yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan.\u201c\nDalam ucapan perasmiannya, beliau turut menegaskan betapa pentingnya semua sektor di Malaysia menggunakan bahasa Melayu secara menyeluruh kerana bahasa Melayu merupakan bahasa urusan rasmi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam." "Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan Dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nYBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan yang baharu berkuat kuasa 21 April 2023.\nMenurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, pelantikan YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi adalah berdasarkan berdasarkan kelayakan dan pengalaman luasnya dalam bidang perkhidmatan kesihatan negara ini sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) di KKM.\nAnak kelahiran Butterworth ini juga pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah, Ketua Penyelaras Perubatan Negeri Kedah dan Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Kedah.\nYBhg. Datuk. Dr Muhammad Radzi Abu Hassan juga pernah bertugas sebagai Ketua Perkhidmatan Gastroentrologi dan Hepatologi serta menjadi pengerusi pentauliahan bidang kepakaran ini dari tahun 2013 hingga tahun 2021.\n\u201cSaya yakin dengan pengalaman, pengetahuan, kepakaran serta kredibiliti YBhg. Datuk. Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan mampu memberikan yang terbaik dan menjadi rakan pasukan bersama-sama saya di KKM\u201d, ujar Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dr. Zaliha Mustafa.\nHal ini seterusnya dapat memastikan matlamat dan agenda reformasi kesihatan negara dilaksanakan secara menyeluruh selaras dengan Kertas Putih Kesihatan yang sedang dibangunkan supaya masyarakat Malaysia MADANI dapat terus menikmati perkhidmatan kesihatan yang komprehensif, berkualiti serta mapan.\nYBhg. Datuk. Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan bagi menggantikan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang bersara wajib pada 21 April lalu." "Latihan Angkat Berat Menjadikan Otot Wanita Lebih Besar?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAntara kepercayaan umum dalam kalangan wanita termasuklah latihan mengangkat berat akan menjadikan badan wanita itu kelihatan besar dan berotot, sekali gus menjadikan penampilan fizikal seseorang itu lebih besar.\nApabila kita terfikir tentang latihan mengangkat berat dalam kalangan wanita, pernahkah terlintas di fikiran kita sekiranya terdapat atlet bina badan wanita yang mempunyai otot yang besar? Benarkah latihan mengangkat berat menjadikan otot wanita menjadi besar atau menjadikan seseorang wanita itu berotot seperti ahli bina badan?\nSudah tiba masanya untuk kita memikirkan semula tentang imej tersebut. Sudah terlalu lama, mitos ini yang tidak disokong oleh bukti saintifik ini berlegar-legar dalam kalangan masyarakat.Hal ini juga pastinya membuatkan wanita seboleh-bolehnya mengelakkan jenis latihan yang melibatkan angkat berat.\nRealitinya, latihan mengangkat berat akan membantu wanita mencapai matlamat mereka untuk kelihatan kurus, mengubah komposisi badan untuk menjadi lebih sihat dan meningkatkan kekuatan otot seseorang wanita.\nLatihan Angkat Berat\nApabila bercakap mengenai senaman untuk menurunkan berat badan, pasti kita memikirkan tentang senaman kardio. Namun begitu, tahukah anda bahawa senaman yang melibatkan latihan angkat berat yang biasanya dilakukan untuk membina kekuatan otot juga boleh melakukan perkara yang sama?\nLatihan angkat berat ialah latihan teratur yang melibatkan pengecutan otot badan yang berlaku di bawah ketegangan dengan menggunakan berat, berat badan atau alatan gimnasium lain untuk merangsang pertumbuhan otot, kekuatan otot dan daya ketahanan otot. latihan angkat berat juga dikenali sebagai latihan ketahanan dan latihan kekuatan.\nLatihan angkat berat bukanlah untuk membesarkan badan atau membina saiz otot dan kekuatan otot semata-mata. Sebenarnya, terdapat pelbagai lagi kebaikan latihan angkat berat yang mungkin diketahui oleh kebanyakan orang. Antaranya adalah seperti yang berikut:\nSecara umumnya, jika anda ingin mengurangkan lemak badan, membina otot dan membakar kalori dengan efisien, latihan angkat berat merupakan senaman yang paling sesuai untuk anda.\nPerlu diingatkan bahawa apa-apa sahaja jenis senaman perlu diikuti dengan diet yang sesuai dengannya. Dari segi perubahan fizikal, diet menyumbang jauh lebih banyak daripada senaman itu sendiri. Hal ini bermaksudnya, jika kita melakukan latihan angkat berat untuk membina otot tetapi tidak diikuti dengan diet yang seimbang, semuanya akan menjadi sia-sia!\nLatihan Angkat Berat dan Otot Wanita\nUntuk mendapatkan faedah daripada latihan angkat berat, perkara tersebut memerlukan dedikasi dan kerja keras. Namun begitu, untuk mencapai fizikal seperti seorang ahli bina badan atau atlet angkat berat Olimpik, hal tersebut memerlukan komitmen yang luar biasa, jadual latihan yang ketat dan diet yang teratur selama bertahun-tahun.\nMembina otot ialah proses yang panjang dan perlahan di samping memerlukan konsistensi, dedikasi serta usaha selama bertahun-tahun. Untuk memiliki otot seperti atlet bina badan, usaha tersebut mengambil masa beberapa tahun.\nAtlet bina badan profesional ialah golongan elit yang mempunyai jadual latihan dan melakukan bebanan senaman yang kebanyakan orang lain tidak melakukannya. Kebanyakan wanita tidak meletakkan masa atau usaha yang cukup untuk menjalani jadual senaman yang konsisten.\nSecara umumnya, wanita tidak mengeluarkan hormon testosteron sebanyak lelaki. Pengeluaran testosteron merupakan faktor utama yang merangsang pertumbuhan saiz otot, maka secara automatik, situasi ini memberitahu kita bahawa wanita tidak akan bertukar menjadi \u201cwolverin\u201d dalam sekelip mata.\nNamun begitu, sesetengah wanita mempunyai tahap testosteron yang lebih tinggi daripada wanita lain secara puratanya. Namun begitu, jumlah tersebut masih tidak mencukupi untuk menghasilkan otot yang besar.\nTestosteron ialah hormon anabolik yang bertanggungjawab untuk pertumbuhan saiz otot dan wanita menghasilkan jauh lebih sedikit testosteron daripada lelaki. Secara umumnya, wanita mempunyai kepekatan testosteron 15 peratus hingga 20 peratus lebih rendah dalam badan berbanding dengan lelaki.\nMembina saiz otot bukan mudah. Lelaki juga perlu mengoptimumkan latihan angkat berat dan diikuti dengan pengambilan protein yang cukup untuk membina saiz otot.\nAdakah mengangkat berat meningkatkan testosteron dalam badan wanita? Mungkin ya! Tetapi tidak banyak. Satu kajian mendapati bahawa testosteron dalam darah hanya meningkat dengan ketara dalam badan lelaki selepas latihan kekuatan. Peningkatan ini hanya meningkat dengan ketara apabila latihan ini melibatkan penggunaan berat badan yang lebih berat.\nWalaupun estrogen memainkan peranan yang sama dalam badan wanita, saintis menjelaskan bahawa estrogen kurang berkesan dalam pembinaan saiz otot kerana parasnya tidak tetap, yakni ada penuruan dan kenaikan sepanjang kitaran haid.\nSementara itu, paras testosteron dalam badan lelaki sentiasa berada dalam keadaan stabil. Penurunan estrogen wanita selepas menopaus menjadikan wanita lebih sukar membina saiz dan mengekalkan saiz otot.\nSelain itu, hormon progesteron mempunyai kesan negatif terhadap pertumbuhan otot wanita. Tugas progesteron adalah untuk menyediakan blok binaan bagi membina lapisan endometrium dalam rahim.\nSelepas ovulasi, progesteron melonjak dan menghalang pertumbuhan otot dengan mengalihkan karbohidrat dan asid amino daripada tisu otot kepada lapisan endometrium yang kaya dengan glikogen untuk persediaan ovum yang akan disenyawakan.\nJenis otot juga memainkan peranan yang penting dalam proses membina saiz otot. Wanita mempunyai peratusan gentian otot sentak perlahan yang lebih tinggi dan gentian otot sentak cepat lebih rendah berbanding dengan lelaki.\nGentian otot sentak perlahan ialah otot yang lebih tahan keletihan dan aktif dalam latihan daya tahan. Saiznya juga lebih kecil daripada gentian otot sentak cepat yang menghasilkan daya yang kuat.\nUntuk membina otot, wanita mesti makan lebih banyak kalori. Wanita tidak boleh membina saiz otot jika makan dengan defisit kalori.\nBanyak wanita yang makan dengan kalori yang tidak mencukupi dan tidak mengambil sumber protein yang memadai untuk menyokong pertumbuhan saiz otot yang ketara.\nSebagai rujukan, pengambilan kalori yang disyorkan untuk wanita yang sihat adalah antara 1800 kalori hingga 2400 kalori. Jika seseorang itu bersenam dengan sangat aktif, mereka mungkin perlu mengambil kalori yang lebih tinggi daripada julat itu.\nOleh itu, wanita tidak perlu risau dengan saiz otot menjadi besar jika kalori yang diambil kurang daripada yang sepatutnya.\nOtot tidak akan dibina jika otot bertindak balas dengan tugas yang biasa mereka lakukan. Otot memerlukan cabaran. Jika otot tidak dibebankan secara progresif dan berkala, otot tidak akan membesar.\nPertambahan jisim dan saiz otot perlu mengikuti dua peraturan utama dalam latihan angkat berat, iaitu mengangkat berat dalam julat ulangan yang betul (lapan ulangan hingga 15 ulangan setiap set) dan mengangkat berat sehingga keletihan.\nSekiranya otot sudah beradaptasi dengan peraturan tersebut, beban dan julat ulangan boleh diubah mengikut tahap adaptasi individu.\nKekerapan ialah satu daripada faktor utama dalam membina otot. Kajian menunjukkan bahawa apabila otot dilatih otot dengan lebih kerap, pertumbuhan otot akan berlaku dalam tempoh yang lebih singkat.\nPada kebiasaannya, wanita tidak konsisten dengan jadual latihan angkat berat. Oleh sebab itu, tidak mungkin saiz otot wanita menjadi besar jika latihan yang dilakukan adalah tidak konsisten.\nAtlet Bina Badan Wanita\nBukankah atlet bina badan wanita ialah contoh yang terbina daripada latihan mengangkat berat yang menjadikan saiz otot wanita kelihatan lebih besar?\nKebanyakan atlet bina badan wanita ialah golongan profesional. Kebanyakan daripada mereka mengambil steroid, testosteron dan bantuan ergogenik lain untuk mencapai saiz otot dan saiz badan yang layak untuk gelaran itu.\nPenyelidik membuktikan bahawa penggunaan steroid boleh membantu meningkatkan jisim, saiz dan kekuatan otot pada kadar yang lebih pantas daripada yang boleh dicapai secara semula jadi.\nJadi, memang benar bahawa sesetengah wanita boleh mendapatkan otot yang besar. Namun begitu, hal demikian tidak akan terjadi dengan hanya latihan mengangkat berat.\nRealitinya, kekalkan cara hidup yang aktif secara semula jadi dengan mengambil diet yang sihat, nutrien dan suplemen yang mencukupi, program senaman dan teknik pemulihan yang betul.\nJika lemak berada pada tahap yang membimbangkan, latihan angkat berat juga boleh membantu dalam penurunan berat badan. Pada kebiasaannya, pembakaran kalori dikaitkan dengan senaman kardio, namun latihan angkat berat juga dapat membantu mengurangkan peratusan lemak dalam badan dan meningkatkan jisim otot.\nOtot membakar lebih banyak kalori daripada lemak badan, walaupun anda sedang berehat. Hal ini membantu mencipta defisit kalori yang menyebabkan kehilangan lemak yang lebih besar.\nJadi, wanita tidak perlu risau dengan mitos bahawa latihan mengangkat berat boleh menyebabkan saiz otot anda menjadi besar.\n\u00a0\nDr. Nursyuhada Mohd Sukri, Ketua Jabatan Sukan Prestasi Tinggi, Akademi Kecergasan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia." "Kamera Papan Pemuka Penting untuk Keselamatan Kenderaan dan Penumpang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kamera papan pemuka yang diletakkan di kenderaan sudah menjadi keperluan orang ramai. Kamera video kecil ini bukan sekadar penting demi kepentingan keselamatan kenderaan dan penumpangnya sewaktu berada di jalan raya, malah memainkan peranan yang berguna untuk perkara lain.\nHal ini turut dijelaskan secara terperinci oleh Profesor Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr. Kulanthayan K.C Mani dalam rancangan temu bual Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia, baru-baru ini.\nMenurut beliau, kamera papan pemuka mempunyai sistem yang merekodkan perjalanan, sama ada melalui rakaman di bahagian depan ataupun belakang kenderaan.\nTerdapat juga kamera papan pemuka yang mempunyai sistem merakamkan bahagian sisi dan dalam kenderaan. Hal ini merupakan suatu sistem yang cukup baik kerana setiap perjalanan pengguna jalan raya dapat direkodkan.\nAntara kepentingan menggunakan kamera papan pemuka termasuklah berupaya membantu pengguna jalan raya sekiranya berdepan dengan kemalangan jalan raya.\n\u201cKamera papan pemuka berupaya menjadi bukti untuk menunjukkan keadaan sebenar, jika sesuatu kemalangan berlaku. Ketiadaan sistem yang merekodkan perjalanan boleh menyebabkan pengguna jalan raya yang tidak bersalah sewaktu kemalangan menjadi mangsa keadaan dan dipersalahkan,\u201d hurainya lagi.\nDalam masa yang sama, beliau turut menegaskan bahawa penggunaan kamera papan pemuka berupaya membantu pihak berkuasa sewaktu proses siasatan kemalangan.\n\u201cPihak berkuasa boleh melakukan rekonstruksi kemalangan dengan mudah. Sekiranya tidak terdapat sebarang rekod rakaman perjalanan, pihak berkuasa perlu melakukan rekonstruksi kemalangan secara manual dengan mengumpulkan data,\u00a0 yakni dari segi lokasi kemalangan, kelajuan kenderaan dan sebagainya,\u201d jelasnya.\nSementara itu, penggunaan kamera papan pemuka juga dapat membantu pengguna kenderaan dari segi keselamatan walau di mana-mana pun kenderaan pengguna diletakkan.\nSebagai contohnya, ketika kereta diletakkan di tempat letak kenderaan, kemudian berlakunya pelanggaran oleh kereta lain yang memberikan kesan kepada kenderaan pengguna, sistem yang terdapat pada kamera papan pengguna dapat membantu mengenal pasti pesalah berkenaan ataupun wujudnya niat jahat yang cuba untuk melakukan vandalisme pada kenderaan tersebut.\n\u201cApabila sesuatu kenderaan mempunyai kamera papan pengguna, saya nampak keyakinan pemandu bertambah baik. Sebab pemandu akan berasakan isu keselamatannya terjamin,\u201d tegas beliau lagi." "Strok Haba Mampu Mengundang Kematian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Strok haba bukanlah situasi yang boleh dipandang ringan. Walaupun kes ini merupakan kes terpencil di Malaysia, namun penyakit kepanasan yang teruk ini mampu mengundang kematian.\nHal ini turut dijelaskan secara terperinci oleh Pakar Perubatan Keluarga, Jabatan Perubatan Rawatan Utama, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr. Megat Mohamad Amirul Amzar dalam temu bual rancangan Selamat Pagi Malaysia, baru-baru ini.\nMenurut beliau, cuaca yang terlalu panas akan menyebabkan badan manusia gagal untuk menyejukkan semula badan.\nKesannya, badan akan mengalami kekurangan air, kekeringan dan menyebabkan fungsi badan menjadi tidak normal. Apabila badan mencapai tahap strok haba, keadaan tersebut boleh mengakibatkan kematian.\nBeliau menerangkan bahawa antara gejala bagi strok haba ialah badan mengeluarkan peluh yang keterlaluan.\n\u201cApabila badan mengeluarkan peluh yang sangat banyak, air dalam badan semakin berkurangan. Individu berkenaan akan mula rasa pening dan sakit kepala, kejang, dan selepas itu akan rasa haus yang teramat sangat. Tetapi bila individu berkenaan membiarkan diri terus berada dalam persekitaran yang panas, suhu badan akan naik mendadak,\u201d jelasnya.\nApabila badan tidak lagi mampu berpeluh, protein dan enzim dalam badan tidak berfungsi dengan normal dan akhirnya seseorang itu akan muntah, rasa pening dan boleh menyebabkan pengsan dan tidak sedarkan diri.\n\u201cYang paling berisiko tinggi ialah kanak-kanak kerana mereka tidak mempunyai regulasi peluh seperti orang dewasa dan kadangkala, mereka juga tidak menyedari bahawa kadang-kadang dirinya merasa tidak selesa, \u201d tegas beliau lagi.\nSelain itu, antara golongan yang turut berisiko tinggi terkena strok haba termasuklah golongan yang berusia, ibu mengandung, ibu yang menyusukan anak, dan golongan mempunyai penyakit kronik, terutamanya mereka yang menghidap penyakit buah pinggang dan penyakit jantung.\nApabila berada di luar rumah, pancaran cahaya matahari dengan suhu persekitaran yang tinggi sambil melakukan aktiviti fizikal yang aktif akan menyebabkan badan menjadi aktif, berpeluh lebih banyak dan badan kekurangan air. Keadaan seumpama ini meningkatkan risiko untuk mendapat strok haba.\nAntara langkah pencegahan yang disarankan oleh beliau adalah dengan memastikan diri tidak terdedah dengan persekitaran yang terlalu panas.\n\u201cSekiranya tidak perlu, jangan melakukan aktiviti fizikal di luar. Jika perlu, pastikan memakai pakaian yang terang kerana warna tersebut tidak menyerap haba selain memakai pakaian yang longgar supaya mempunyai ruang untuk angin yang dapat menyejukkan badan,\u201d nasihatnya lagi." "Waspada Cuaca Panas semasa Musim Perayaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan masyarakat supaya berwaspada dengan cuaca panas semasa musim perayaan tahun ini.\nMenurut Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan, pemantauan yang dilakukan oleh kementeriannya hingga 28 April 2023 mendapati bahawa sebanyak lima kes penyakit berkaitan dengan cuaca panas telah dilaporkan.\n\u201cTiga kes dilaporkan di negeri Sarawak melibatkan dua kes kekejangan haba dan satu kes kelesuan haba, manakala dua kes lagi dilaporkan di negeri Kelantan yang melibatkan satu kes kelesuan haba dan satu kes strok haba yang menyebabkan kematian,\u201d jelasnya dalam satu kenyataan.\nKatanya, merujuk laporan di media massa pada 27 April 2023 berkenaan dengan dua kes kematian akibat strok haba di Kelantan, hasil siasatan awal yang dilakukan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mendapati bahawa penyebab kematian kanak-kanak berusia 11 tahun tersebut ialah strok haba dengan dehidrasi teruk.\nSementara itu, kes kematian bayi berusia 19 bulan pula adalah disebabkan oleh dehidrasi teruk dengan sepsis dan bukannya disebabkan oleh strok haba.\nOleh yang demikian, beliau menyarankan agar masyarakat mengambil langkah pencegahan terhadap sebarang masalah kesihatan yang boleh terjadi akibat cuaca panas sepanjang musim perayaan.\nAntara langkah pencegahan yang boleh dilakukan termasuklah merancang aktiviti ziarah-menziarahi dan elakkan keluar dari rumah pada waktu puncak cuaca panas, iaitu antara pukul 11.00 pagi hingga 4.00 petang serta banyakkan minum air kosong walaupun tidak berasa dahaga sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi mengekalkan tahap hidrasi untuk mengawal atur suhu badan.\nMasyarakat juga dinasihatkan agar mengurangkan minum minuman manis, berkafein dan berkarbonat kerana minuman ini tidak bagus untuk hidrasi badan serta pada masa yang sama mengehadkan tempoh berada di luar bangunan bagi mengelakkan pendedahan kepada cuaca panas.\nAwasi keletihan yang dialami oleh bayi, kanak-kanak dan warga emas kerana mereka mungkin mengalami dehidrasi tanpa disedari dan memastikan golongan ini minum air yang secukupnya.\nPemakaian pakaian yang tebal, ketat dan berwarna gelap juga perlu dielakkan bagi membantu proses kehilangan haba daripada badan dan kerap mandi bagi menyejukkan badan serta mengehadkan aktiviti fizikal lasak semasa cuaca panas kerana boleh meningkatkan risiko penyakit akibat cuaca panas.\nOrang awam boleh mendapatkan maklumat terkini tentang status cuaca panas di laman sesawang MetMalaysia, manakala langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas di laman sesawang KKM." "Ubat Batuk Guaifenesin Syrup Tg Syrup Tercemar dan Tidak Selamat Digunakan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Berdasarkan amaran yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan bahawa sirap ubat batuk Guaifenesin Syrup Tg Syrup yang dikilangkan oleh QP Pharmachem Ltd. (Punjab, India) telah tercemar dan tidak selamat digunakan berikutan mengandungi dietilena glikol dan etilena glikol melebihi had yang dibenarkan.\nWalau bagaimanapun, KKM mendapati bahawa produk berkenaan tidak berdaftar di Malaysia berdasarkan semakan yang dilakukan terhadap pangkalan data produk berdaftar Bahagian Regulatori Farmasi Negara.\n\u201cMeskipun produk ini tidak berdaftar di Malaysia, KKM menasihatkan agar orang awam yang berkemungkinan menggunakan atau mengetahui sesiapa yang sedang menggunakan produk ini untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan, terutamanya jika mengalami sebarang kesan sampingan atau kesan advers,\u201d kata Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan.\nSakit pada bahagian abdomen, muntah, cirit-birit, kesukaran untuk membuang air kecil, sakit kepala, perubahan terhadap kesihatan mental dan kecederaan yang teruk pada buah pinggang adalah antara kesan daripada pengambilan produk sirap ubat batuk yang tercemar dengan dietilena glikol dan etilena glikol tersebut.\nSelain itu, produk yang tercemar ini juga adalah tidak selamat untuk digunakan, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak kerana boleh menyebabkan kesan yang serius ataupun kematian.\nSusulan itu, KKM sentiasa komited dalam menjalankan pemantauan secara berterusan bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan terjamin serta perkembangan tentang hal ini akan dimaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa.\nOrang awam digalakkan untuk membuat aduan sekiranya terdapat keraguan tentang kualiti dan keselamatan produk yang digunakan atau mempunyai sebarang maklumat berhubung dengan penjualan produk tidak berdaftar dalam pasaran melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SiSPAA) atau melaporkan aduan tersebut di Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan atau menghubungi talian 03-78413200 bagi membolehkan tindakan yang sewajarnya dilakukan oleh KKM.\nKredit gambar: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia" "COVID-19: Kesan Berpanjangan terhadap Otak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSimptom COVID-19 berpanjangan ialah suatu situasi yang merujuk bekas pesakit COVID-19 mengalami gejala COVID-19 secara berterusan bagi tempoh 12 minggu atau lebih selepas sembuh daripada jangkitan COVID-19.\nDi Malaysia, laporan telah menunjukkan bahawa sebanyak 21.1 peratus hingga 27.4 peratus rakyat Malaysia mengalami simptom tersebut, yakni sebanyak satu dalam lima bekas pesakit ialah mangsa simptom COVID-19 berpanjangan.\nAntara simptom COVID-19 berpanjangan yang kerap dilaporkan dalam kalangan rakyat Malaysia termasuklah keletihan, sakit otot, batuk berpanjangan dan kabut otak (brain fog). Selain itu, faktor risiko lain yang menyumbang kepada perkembangan simptom tersebut termasuklah jantina perempuan, pesakit yang tenat apabila dijangkiti COVID-19 serta mempunyai sejarah penyakit kadiovaskular dan penyakit paru-paru.\nKabut otak juga dikenali sebagai kabut COVID-19. Gejala ini berlaku apabila seseorang itu terasa pemikirannya lembab, kabur dan tidak \u201ctajam\u201d. Selain jangkitan COVID-19, ketidakseimbangan paras hormon, pengambilan ubat-ubatan yang dipreskripsikan untuk kanser, kekurangan tidur dan stres turut menyebabkan kabut otak berlaku.\nKabut otak akan menjejaskan keupayaan seseorang untuk berfikir. Individu bergejala juga mungkin akan berasa keliru, tidak teratur atau sukar untuk menumpukan perhatian apabila mereka cuba untuk bertutur melalui kata-kata.\nSelain proses pemikiran, keupayaan untuk menumpukan perhatian, kefasihan bahasa, kelajuan pemprosesan maklumat, fungsi eksekutif dan ingatan seseorang turut dipengaruhi oleh kabut otak. Tambahan pula, ketakmampuan kognitif juga wujud dalam kalangan bekas pesakit COVID-19 yang mengalami kabut otak yang amat tenat. Keadaan ini akan berpanjangan selama beberapa bulan selepas jangkitan COVID-19.\nDari segi prevalens, sebanyak 61.5 peratus hingga 80 peratus pesakit yang mengalami penyakit yang ringan hingga teruk semasa dijangkiti COVID-19 yang menunjukkan kemerosotan kognitif. Sementara itu, pesakit COVID-19 mungkin akan mengalami ketakmampuan kognitif walaupun sudah pulih daripada jangkitan dengan jangkaan sebanyak 54 peratus pesakit keterukan sederhana dan 65 peratus pesakit keterukan sederhana sehingga tenat mengalami situasi tersebut.\nSecara umumnya, seseorang akan lebih berisiko untuk menghidap kabut otak dan ketakmampuan kognitif sekiranya individu tersebut mengalami penyakit COVID-19 yang teruk semasa dijangkiti. Jadi, apakah penyebab bagi sindrom kabut COVID-19 ini?\nMenurut kajian Fern\u00e1ndez-Casta\u00f1eda dan rakan-rakan yang diterbitkan pada tahun 2022 dalam jurnal Cell, mereka mendapati bahawa kabut COVID-19 mempunyai persamaan yang ketara dengan sindrom kognitif yang dikenali sebagai chemobrain atau gangguan kognitif yang berkaitan dengan terapi kanser (CRCI).\nCRCI berlaku apabila kognitif pesakit kanser merosot disebabkan oleh jenis terapi kanser seperti kemoterapi yang diterima. Dalam konteks ini, kedua-dua situasi kabut COVID-19 dan CRCI merupakan kesan tindak balas keradangan dalam otak.\nKajian tersebut turut memerhatikan peningkatan paras sitokin (pemberi isyarat sel) dan kereaktifan mikroglia yang didorong oleh virus COVID-19 dalam cecair serebrospinal. Kenaikan paras sitokin dan kereaktifan mikroglia ini kemudiannya menyebabkan kehilangan sel saraf seperti oligodendrosit dan akson bermielin secara berterusan.\nKesannya, pembentukan sel saraf seperti neuron berkurangan dalam otak. Oleh sebab itu, walaupun sesetengah pesakit COVID-19 sudah sembuh daripada jangkitan COVID-19, mereka tetap akan mengalami kabut COVID-19.\nDi samping itu, menurut kajian, kabut otak yang disebabkan oleh COVID-19 ini cenderung untuk memuncak dalam beberapa bulan (hingga 14.8 bulan) selepas dijangkiti oleh COVID-19. Walau bagaimanapun, bekas pesakit COVID-19 tidak perlu risau kerana situasi kabut COVID-19 ini biasanya akan bertambah baik dari semasa ke semasa.\nSelain kabut otak, jangkitan COVID-19 turut memberikan kesan berpanjangan terhadap otak. Dalam konteks ini, bekas pesakit COVID-19 mempunyai pengurangan ketebalan dalam beberapa bahagian otak seperti jirim kelabu (grey matter).\nPerbezaan tisu otak juga diperhatikan antara bekas pesakit COVID-19 dengan mereka yang tidak pernah dijangkiti COVID-19. Kajian mendapati bahawa sesetengah tisu otak seperti korteks orbitofrontal dan girus parahipokampus adalah berkurangan dalam bekas pesakit COVID-19.\nMenurut kajian UK Biobank yang diterbitkan pada tahun 2022 dalam jurnal Nature, mereka juga mendapati bahawa ketebalan satu kawasan korteks otak berkurangan selepas dijangkiti COVID-19. Kesannya, saiz otak global pesakit COVID-19 akan terus berkurangan.\nSituasi kabut otak boleh diuruskan dengan beberapa cara. Misalnya, seseorang itu boleh cuba untuk bermeditasi. Meditasi dapat menajamkan minda supaya seseorang itu dapat memberikan fokus dengan lebih baik.\nDi samping itu, gaya hidup yang sihat seperti tidur yang mencukupi, senaman berkala dan pemakanan seimbang juga dapat mengurangkan kesan kabut otak kepada aktiviti harian. Mangsa kabut COVID-19 juga disarankan untuk berjumpa dengan doktor jika keadaan kabut otak tidak bertambah baik sehingga menjejaskan kehidupan seharian.\n\u00a0\nGoh Ying Xian ialah Pegawai Penyelidik di Institut Biologi Molekul Perubatan (UMBI), Universiti Kebangsaan Malaysia." "Pelaksanaan Rangkaian 5G Diteruskan hingga Mencapai 80 Peratus Liputan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Pelaksanaan rangkaian 5G di negara ini diteruskan oleh Digital Nasional Berhad (DNB) hingga mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung tahun 2023.\nPada masa yang sama, peralihan kepada model dwirangkaian akan dilaksanakan berdasarkan syarat yang selari dengan amalan pada peringkat global yang menawarkan pelbagai rangkaian bukan sahaja untuk rakyat, malah dapat dimanfaatkan oleh sektor perindustrian yang merupakan antara kumpulan sasar penggunaan teknologi 5G.\n\u201cHal ini adalah selaras dengan prinsip utama yang digariskan dalam ucapan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, Yang Amat berhormat Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim bahawa peralihan kepada model dwirangkaian dapat memanifestasikan keterangkuman melalui penyertaan penuh penyedia perkhidmatan tanpa menjejaskan langganan 5G yang sedia ada pada kadar yang berpatutan untuk rakyat,\u201d kata Menteri Komunikasi dan Digital, Yang Berhormat Tuan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dalam satu kenyataan.\nSelain itu, keputusan yang dibuat ini juga adalah berdasarkan anjakan fokus kepada elemen penerimagunaan dan inovasi berasaskan teknologi 5G secara komprehensif serta mengambil kira kemampanan ekosistem industri telekomunikasi di Malaysia sekali gus menamatkan unsur monopoli yang sering dikaitkan dengan DNB.\nOleh yang demikian, Kementerian Komunikasi dan Digital sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan DNB serta pihak penyedia perkhidmatan bagi memastikan peralihan kepada model dwirangkaian ini dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa menjejaskan kepentingan rakyat dan keyakinan pelabur." "Bayi dan Kanak-kanak Tanpa Imunisasi Lengkap Berisiko Tinggi Dijangkiti Pertusis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Bayi dan kanak-kanak yang tidak mendapat imunisasi lengkap ialah golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti pertusis atau batuk kokol, iaitu penyakit cegahan vaksin yang disebabkan oleh bakteria Bordetella yang menjangkiti mulut, hidung dan tekak serta tersebar melalui udara semasa pesakit bersin atau batuk.\nPenyakit dengan gejala batuk berpanjangan dalam tempoh satu minggu hingga dua minggu serta boleh berlarutan hingga dua bulan ini bukan sahaja menjangkiti bayi dan kanak-kanak, malah mampu menjangkiti semua orang tanpa mengira usia, terutamanya golongan rentan dan rendah imuniti.\n\u201cBerdasarkan rekod hingga 28 April 2023, sebanyak 132 kes pertusis dengan dua kematian telah dilaporkan di seluruh Malaysia, iaitu berlaku penurunan sebanyak 73.3 peratus jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada tahun 2019 yang mencatatkan kes sebanyak 495 kes,\u201d kata Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat Dr. Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan.\nDaripada 132 kes yang dilaporkan, sebanyak 89 kes (67.4 peratus) melibatkan warganegara, manakala 43 kes (32.6 peratus) lagi membabitkan bukan warganegara.\nBayi berumur bawah 12 bulan ialah kumpulan yang mencatatkan bilangan kes pertusis tertinggi, iaitu 67 kes (50.8 peratus), manakala kanak-kanak antara satu tahun hingga 10 tahun mencatatkan sebanyak 47 kes (35.6 peratus) dan selebihnya melibatkan kanak-kanak berumur 11 tahun dan ke atas.\nBerdasarkan situasi semasa, kebanyakan kes pertusis di negara ini adalah dalam kalangan bayi kurang daripada lima bulan yang mencapai tahap imuniti optimum kerana masih belum lengkap tiga dos primer vaksin pertusis.\nOleh yang demikian, pertusis dapat dicegah dengan memastikan liputan imunisasi pertusis sentiasa melebihi 95 peratus pada setiap masa, yakni vaksin pertusis perlu diberikan kepada kanak-kanak secara rutin pada umur dua bulan, tiga bulan, lima bulan dan 18 bulan.\nPada masa yang sama, KKM sedang meneliti pelaksanaan vaksin kombinasi tetanus-difteria-pertusis (Tdap) kepada ibu hamil bagi melindungi bayi bermula dalam kandungan hingga bayi tersebut dapat melengkapkan dos primer vaksin kombinasi enam serangkai seperti dalam Jadual Imunisasi Kebangsaan.\nKKM sentiasa berusaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dan ibu bapa tentang kepentingan imunisasi dengan menyediakan bahan pendidikan kesihatan berkenaan imunisasi dan kepentingan mencegah penyakit cegahan vaksin, mengadakan hebahan melalui siaran konvensional atau media sosial, menjalankan kerjasama dengan badan bukan kerajaan dan badan profesional untuk meningkatkan medium bagi mendekati masyarakat serta bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk meyakinkan masyarakat tentang kepentingan vaksin dari sudut agama.\nSekiranya seseorang itu mengalami gejala pertusis, amalkan etika batuk dan bersin, iaitu dengan menutup mulut diikuti dengan mencuci tangan bagi mencegah penularan jangkitan kepada orang lain serta mendapatkan rawatan dengan segera jika keadaan kesihatan bertambah teruk." "Pelaksanaan Agenda Nasional Malaysia Sihat Sasar Peningkatan Taraf Kesihatan Rakyat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) telah memasuki fasa kedua pelaksanaannya di Malaysia bagi tahun 2023 hingga tahun 2025 yang meletakkan peningkatan taraf kesihatan rakyat Malaysia sebagai keutamaan melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan.\nPelaksanaan ANMS adalah selari dengan konsep Malaysia MADANI, yakni di bawah rukun kesejahteraan yang diyakini dapat mewujudkan rakyat yang mengutamakan keseimbangan dalam kehidupan dengan menjadikan amalan hidup sihat sebagai satu budaya.\nKementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa komited dalam mencari pelbagai idea baharu bagi membantu rakyat mencapai dan mengekalkan taraf kesihatan yang sihat menerusi mesej, promosi dan pendidikan kesihatan.\n\u201cIdea ini adalah selari dengan perkara yang sedang diperjuangkan dalam Kertas Putih Kesihatan yang menjadi pemangkin peralihan daripada penjagaan pesakit kepada penjagaan kesihatan,\u201d kata Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat Dr. Zaliha Mustafa ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Sitkom Agenda Nasional Malaysia Sihat di Putrajaya.\nSusulan itu, pelbagai kempen telah dilaksanakan di bawah teras satu ANMS itu sendiri, iaitu memantapkan promosi pembudayaan hidup sihat dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan kaedah media seperti media sosial, media konvensional, media cetak, media luar dan media digital bagi mencapai hasrat tersebut.\nBeliau turut menegaskan bahawa lembaran tahun 2023 ini menyaksikan kelainan dengan pendekatan yang digunakan oleh KKM dalam menyampaikan mesej ANMS, iaitu melalui pendekatan penerbitan sitkom yang menampilkan cerita dalam bentuk santai, menghiburkan dan persembahan yang baik menerusi suatu sitkom yang dipercayai mampu mencorakkan daya fikir masyarakat.\nSitkom ANMS yang bakal diterbitkan adalah sebanyak lapan episod dan berdurasi selama 30 minit yang menyampaikan mesej secara santai, namun meninggalkan kesan positif kepada penonton sekali gus mampu mempengaruhi kehidupan seharian.\nSitkom adalah bukan hiburan semata-mata, tetapi saya yakin bahawa dengan adanya lakonan dan penyampaian mesej secara spontan dapat mencapai objektif dan harapan KKM untuk melahirkan masyarakat yang lebih sihat.\nBeliau memaklumkan bahawa sitkom berkenaan akan dibintangi oleh barisan pelakon yang hebat dan bakal ditayangkan di saluran Radio Televisyen Malaysia TV1 pada setiap hari Isnin hingga hari khamis, bermula 8 Mei 2023 hingga 18 Mei 2023 pada pukul 10.30 malam.\nSebelum mengakhiri ucapannya, beliau juga menyatakan bahawa sitkom ialah agenda utama yang akan dilanjutkan pada tahun yang berikutnya jika lapan episod sitkom yang bakal diterbitkan itu berjaya dan membolehkan episod sitkom baharu menyusul." "Debat Terbuka Keluarga Malaysia: Pentas Anak Muda Menzahirkan Pandangan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bersempena dengan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang kini sedang berlangsung di Wisma DBP, Kuala Lumpur, turut diadakan Debat Terbuka Keluarga Malaysia yang menyaksikan 15 slot persembahan yang menghimpunkan pasukan daripada alumni debat universiti awan dan universiti swasta di negara ini, peserta dari luar negara dan pelajar sekolah yang terpilih.\nDebat Terbuka Keluarga Malaysia, pada pagi ini dimulakan dengan Persembahan Pidato Antarabangsa 1 yang bertajuk \u201cKeluarga Malaysia\u201c dan dipersembahkan oleh peserta dari Rusia, Olga Vasilevskaya. Persembahan Pidato Antarabangsa 2 pula disampaikan oleh Aminata Koutoub Sano, dari Republik Guinea dengan tajuk \u201cCOVID-19, antara Musibah dengan Hikmah\u201c.\n\u00a0\nUsul dengan tajuk \u201cPelaksanaan Gaji Minimum Penawar Masalah Ekonomi Rentan\u201c menjadi persembahan untuk debat sesi pertama dengan pendebat Nur Ain Aqilah Rosli, Muhammad Jufri Firdaus Mahathir, dan Pavithra Panir Selvam sebagai kerajaan. Sementara itu, Muhammad Izzat Amirul Mohamed Saidey, Laila Sabiha Md Saberi, dan Alageasan Dhayalan sebagai pencadang. \nDebat sesi kedua dengan usul bertajuk \u201cLaut Cina Selatan: ASEAN Pilih Barat\u201c menjadi pilihan pendebat Adib Aiman, Azzairi Rosle, dan Johan Mat, sebagai kerajaan. Sementara itu, Azri Abdullah, Osman Safee, dan Mohamed Zulfadhli, sebagai pencadang.\nUsul dalam sesi ketiga pula bertajuk \u201cKestabilan Politik Lebih Penting daripada Kestabilan Ekonomi\u201c menjadi pilihan pendebat Noor Ismahisham, Nur Habibah, dan Muhammad Syafiq Jebat, sebagai kerajaan, manakala pendebat Azizul Hakim Abdul Aziz, Shameerul Abd Samad, dan Osman Safee, sebagai pencadang.\nDebat Terbuka Keluarga Malaysia yang berlangsung selama tiga hari yang bermula hari ini dan akan berakhir pada 24 Mei 2022, menyaksikan pelbagai usul yang dibahaskan oleh para pembahas termasuklah Majikan Wajib Memberikan Pilihan Kerja dari Rumah kepada Pekerja; Bahasa Melayu Sudah Bersedia sebagai Bahasa ASEAN; Muhasabah Bencana COVID-19; Semangat Kenegaraan Penghalang Penyatuan Keluarga Malaysia; Demi Menjunjung Perkara 152, Mandat Penguatkuasaan Perlu Diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka; Anak Muda Kita sudah Bijak Berpolitik; Perang Dagang: Tindakan Berkecuali Menguntungkan; Bencana Alam Mengeratkan Keluarga Malaysia; JPN Wajar Memberikan Kerakyatan kepada Golongan Tidak Bernegara; Cukai Khas terhadap Pempengaruh di Media Sosial Wajar Dilaksanakan; dan Dewan Ini akan Memansuhkan Pembelian Terus dalam Perolehan Kerajaan. \nSepanjang Debat Terbuka Keluarga Malaysia yang berlangsung pada hari pertama, diyakini program sebegini dapat menjadi wadah pemartabatan bahasa Melayu khususnya dalam kalangan belia di negara ini dan pada peringkat antarabangsa amnya untuk terus menyakini bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa yang seharusnya dijulang sebagai bahasa pemersatu dalam pembentukan jati diri anak bangsa." "Lerek, Lemang dan Lumayan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam kalangan penggemar hidangan tradisional, daun lerek yang dijadikan alas atau lapik yang fungsinya sama seperti daun pisang yang digunakan untuk membungkus nasi atau pulut yang diletakkan dalam buluh mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri. Walaupun begitu, daun ini agak susah untuk diperoleh kerana lazimnya, tumbuhan ini tumbuh di dalam hutan.\nAntara hidangan tradisional yang menggunakan daun lerek dalam wadah seumpama buluh termasuklah lemang. Hal ini menjadikan lemang yang menggunakan daun lerek mendapat sambutan yang hangat berikutan status hidangan tersebut yang disifatkan sebagai langka berikutan tidak semua tempat menggunakannya.\nPenggunaan daun lerek dapat menambahkan rasa yang enak terhadap lemang yang dibakar di samping menghasilkan aroma atau bau wangi yang menyenangkan. Penggunaan daun ini juga mempunyai kelebihan tersendiri. Buluh yang menjadi bekasnya itu tidak perlu dibelah, sebaliknya daun lerek yang mempunyai tangkai itu boleh terus ditarik keluar dari buluh.\nSifat fizikalnya yang lebar dan mudah lentur menjadi satu daripada faktor daun ini dipilih sebagai pembungkus makanan yang baik. Selain itu, daun ini dapat menghasilkan kandungan lemang yang lembut dan tidak berkerak. Disebabkan rasanya yang enak terutamanya ketika panas, masyarakat orang Asli kebiasaannya memakan lemang begitu sahaja tanpa memerlukan tambahan rendang daging atau ayam seperti tradisi makanan orang Melayu.\nNamun begitu, dalam kalangan sesetengah pembuat lemang, penggunaan daun pisang, khususnya daun pisang hutan lebih disukai berbanding dengan daun lerek kerana daun lerek lebih kuat menyerap santan. Oleh sebab itu, penggunaan daun pisang dianggap lebih efektif kerana tidak memerlukan santan yang banyak di samping dapat menghasilkan lemang yang lebih berlemak.\nSungguhpun begitu, lemang yang menggunakan daun lerek telah memberikan kelegaan besar kepada peminat lemang yang menghadapi masalah kesihatan atau berat badan yang bertambah. Hal ini dikatakan demikian kerana penggunaannya yang\u00a0 dapat menyerap santan mampu menurunkan kolesterol kepada sesiapa yang memakannya.\nDari segi ketahanannya pula, lemang yang menggunakan daun lerek lebih tahan lama kerana teksturnya yang kering boleh mengelakkan kandungan lemang menjadi basi dalam tempoh yang singkat. Tekstur daun pisang yang agak lembap memberikan kesan negatif terhadap kandungan lemang yang boleh menjadi basi lebih cepat. Dikatakan bahawa lemang yang menggunakan daun lerek boleh bertahan antara dua hari hingga tiga hari.\nNamun begitu, dalam proses pembuatan lemang, bahagian pangkal daun lerek perlu sentiasa direndamkan dalam air bagi mengelakkan daun tersebut layu. Pulut dan santan perlu segera diisi ke dalam batang buluh sebelum daun tersebut mula melayu.\nDari segi saintifik, daun lerek yang dikenali sebagai Phrynium Pubinerve Blume dikategorikan dalam famili Marantaceae. Tumbuhan ini tergolong dalam kategori tumbuhan herba yang boleh membesar setinggi dua meter dan membentuk kelompok yang padat dengan daun yang panjang.\nTumbuhan ini mengeluarkan bunga berwarna putih kemerahan dan buah merah yang mengandungi biji berwarna kelabu. Dari segi habitat, daun lerek boleh ditemukan di kawasan selatan Indo-China, India, Sri Lanka dan kawasan barat Malaysia. Tumbuhan ini juga dikatakan boleh didapati sehingga ke Papua New Guinea, selain tumbuh dengan baik di kawasan kepulauan seperti Filipina dan Indonesia yang meliputi beberapa pulau utama seperti Jawa, Kalimantan dan Sumatera.\nTumbuhan ini membiak dan hidup subur di kawasan tanah rendah. Pokok daun lerek ini juga mudah tumbuh meliar di tempat redup di kawasan tanah rendah dan berbukit yang lembap. Tumbuhan ini mempunyai akar\u00a0rizom yang mudah merayap dan tumbuh secara berumpun.\nSelain digunakan untuk membungkus atau mengalas makanan, daun lerek juga mempunyai khasiat tertentu dalam perubatan tradisional yang boleh digunakan untuk merawat bisul dan bengkak pada badan. Di Indonesia, daun lerek digunakan dalam kaedah rawatan tradisional untuk mengubati benjolan dan jerawat yang bernanah. Masyarakat di Sulawesi Utara pula menggunakan jus daunnya sebagai penyembuh luka dan keradangan atau jangkitan pada mata.\nRawatan tradisional lain yang menggunakan daun lerek adalah seperti mengubati penyakit buasir dan sakit telinga. Untuk merawat buasir, daun lerek dicuci, direbus dan dibiarkan suam sebelum diminum.\nProses tersebut melibatkan tiga peringkat rebusan. Rebusan pertama menggunakan 10 cawan air, rebusan kedua sebanyak lapan cawan air dan rebusan ketiga melibatkan enam cawan air. Secawan air rebusan perlu diminum bagi setiap kali rebusan.\nUntuk sakit telinga pula, kesemua bahagian pokok perlu dibersihkan dan dihangatkan di atas api. Air (wap) yang keluar daripada pokok kemudiannya dikumpulkan. Air tersebut boleh digunakan dengan cara menitisnya antara dua titik atau tiga titik ke dalam telinga pada waktu pagi.\nSecara teknikalnya, daun lerek mengandungi fitol, 2-metoksi-4-vinilfenol dan eugenol yang berfungsi sebagai antioksidan. Eugenol pula mempunyai fungsi tambahan yang bersifat bakteriastatik terhadap kulat dan bakteria. Lazimnya, eugenol digunakan untuk pembuatan minyak wangi dan pati terapi yang boleh dimanfaatkan untuk penjagaan kesihatan fizijal dan emosi. Kandungan fenol yang terdapat pada daun lerek ini mempunyai fungsi istimewa, iaitu bersifat toksik terhadap bakteria.\nOleh sebab sifat atau karakternya yang tahan lasak, daun ini berupaya merencat pembiakan bakteria seperti Staphylococcus Aureus yang boleh mendatangkan mudarat atau memberikan masalah kepada kesihatan badan.\nDengan menggunakan kaedah eksperimen makmal secara in vitro, didapati bahawa 27.1 miligram ekstrak etanol daun lerek adalah setara dengan satu miligram vankomisin yang merupakan ubat antibiotik glikopeptida yang digunakan untuk merawat beberapa jangkitan kuman atau bakteria. Secara asasnya, ekstrak etanol daun lerek mengandungi senyawa aktif berupa flavonoid, steroid, triterpenoid dan fenol.\nFlavonoid memiliki sifat antibakteria kerana mengandungi zat antibakteria yang membentuk senyawa kompleks dengan protein ekstraselular dan terlarut sehingga berupaya merencatkan membran sel bakteria. Flavonoid juga dapat merencatkan metabolisme tenaga dengan cara merencat penggunaan oksigen yang diperlukan bakteria untuk biosintesis makromolekul.\nBegitu juga dengan kandungan fenol yang bersifat antibakteria dengan mekanisme antibakteria senyawa fenol dapat membunuh mikroorganisma dengan cara mendenaturasi protein sel. Dengan bahasa yang lebih mudah, ikatan hidrogen yang terbentuk antara fenol dengan protein akan mengakibatkan struktur protein rosak.\nMekanisme steroid sebagai anti bakteria adalah berhubungan dengan membran lipid, yakni apabila steroid dapat berinteraksi dengan membran fosfolipid sel, maka integriti membran akan menurun dan morfologi membran akan berubah sehingga menyebabkan sel menjadi rapuh dan lisis.\nMekanisme terpenoid sebagai antibakteria adalah dengan menerusi reaksi terhadap porin yang terletak pada membran luar dinding sel bakteria. Reaksi ini akan membentuk ikatan polimer yang kuat sehingga merosakkan porin. Apabila porin yang menjadi pintu kepada keluar atau masuknya senyawa protein rosak, maka sel bakteria akan mengalami kekurangan nutrisi.\nEksperimen tersebut menunjukkan bahawa ekstrak etanol daun lerek memiliki keberkesanan yang sama dengan vankomisin yang digunakan sebagai pengawal positif dalam menghambat pertumbuhan Staphylococcus Aureus secara in vitro.\nMenurut laman web PS Herbs pula, terpenoid yang terdapat pada daun lerek mempunyai kesan kandungan yang sama seperti alkaloid bagi merawat penyakit diabetis. Fungsi alkaloid adalah dengan cara menurunkan kandungan glukosa darah menerusi penggalakan penghasilan hormon insulin. Alkaloid juga turut meningkatkan pengambilan glukosa oleh tisu otot dan tisu adipos.\nDisebabkan permintaannya yang agak tinggi, maka perusahaan daun ini dijadikan sumber rezeki kepada sesetengah orang untuk menambahkan pendapatan. Terdapat pengusaha kedai makanan yang menggunakan daun lerek sebagai pembungkus makanan kerana keharuman baunya yang menarik perhatian pengunjung. Satu daripada restoran terkemuka yang dikatakan menggunakan daun lerek adalah seperti Nasi Bamboo Sungai Klah.\nLemang yang menggunakan daun lerek pula tidak hanya mendapat sambutan dalam kalangan orang Melayu, malah daripada bangsa lain termasuklah dari luar negara. Sebagai contohnya, lemang daun lerek yang sebelumnya dijual pada musim perayaan Aidilfitri turut dijual pada Tahun Baru Cina dan mendapat sambutan hangat.\nKini, daun lerek boleh didapati dengan mudah tanpa perlu bersusah-payah masuk ke hutan kerana terdapat sebilangan pengusaha yang telah menawarkan bekalan daun tersebut dengan harga yang berpatutan. Sebagai contohnya, anak pokok daun lerek boleh dibeli secara dalam talian dengan harga antara RM20 hingga RM35 sepokok. Daun lerek yang telah siap dipotong pula boleh dibeli dengan harga antara RM1 hingga RM1.20 sehelai." "Menghadapi Kesesakan Lalu Lintas dengan Lebih Positif\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMemandu ketika cuti bermusim seperti musim perayaan melibatkan pelbagai emosi, misalnya keterujaan dan kegembiraan untuk tiba ke destinasi percutian atau bertemu dan berkumpul dengan ahli keluarga. Namun begitu, situasi ini juga boleh mengakibatkan tekanan, terutamanya apabila melibatkan kesesakan lalu lintas.\nKesesakan lalu lintas yang panjang ialah perkara biasa semasa cuti perayaan. Kesesakan lalu lintas juga boleh menjadi pengalaman yang mengecewakan bagi mana-mana pemandu kerana menyebabkan kelewatan, bahkan turut membahayakan diri jika tidak berhati-hati ketika memandu.\nOleh sebab itu, pemandu harus menyedari tentang potensi bahaya dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan mereka. Adalah penting bagi pemandu untuk sentiasa berwaspada dan mengekalkan tabiat pemanduan yang baik bagi meminimumkan risiko kemalangan.\nSelain itu, pemandu juga harus berhati-hati dengan tingkah laku sendiri dan memastikan bahawa mereka tidak menjadi masalah kepada pengguna jalan raya yang lain dengan memandu secara agresif atau melulu.\nPada masa yang sama, pemandu juga perlu bertenang dan mengambil langkah berjaga-jaga yang diperlukan apabila terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Perkara yang paling penting untuk dilakukan ialah kekal selamat semasa memandu. Pemandu perlu mengetahui keadaan sekeliling dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan yang baik.\nDi samping itu, pemandu juga perlu mengekalkan jarak yang selamat dengan kenderaan lain di jalan raya. Hal ini akan membantu mengurangkan risiko kemalangan atau perlanggaran semasa berada dalam kesesakan lalu lintas.\nPemandu juga harus mengetahui sebarang potensi bahaya atau halangan yang mungkin berlaku semasa terperangkap dalam lalu lintas seperti pembinaan jalan, serpihan atau objek lain yang menghalang jalan. Pemandu juga boleh bergerak di sekitar halangan ini atau mencari laluan alternatif.\nBersikap proaktif dan bertindak dengan bijak boleh membantu mengurangkan tekanan kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain serta berada dalam keadaan yang lebih selamat semasa terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.\nPanduan Menangani Kesesakan Lalu Lintas\nPerlahankan kenderaan\nApabila terdapat lebih banyak kenderaan daripada biasa di jalan raya, kenderaan akan bergerak dengan perlahan. Walaupun kita berkeinginan untuk memandu dengan lebih laju bagi mengelakkan kelewatan, namun tindakan ini boleh menyebabkan kemalangan. Teruskan perjalanan dengan berhati-hati kerana halangan boleh datang dari semua arah. Peka dengan situasi sekeliling bagi memastikan keselamatan diri masing-masing.\nPastikan tali pinggang keledar dipasang dengan betul walaupun terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang bergerak perlahan. Sekiranya berlaku kemalangan, tali pinggang keledar tersebut boleh membantu melindungi diri daripada mengalami kecederaan yang serius.\nElakkan menyelit di antara kenderaan lain\nElakkan menyelit masuk dan keluar di celah kenderaan lain, iaitu menukar lorong dengan pantas untuk mendahului deretan lalu lintas kerana situasi ini adalah sangat berbahaya. Pemandu lain tidak dapat meramalkan perkara yang kita akan lakukan, malah berkemungkinan juga mereka menukar lorong semasa kita menghampiri kenderaan mereka. Oleh itu, langkah yang paling selamat semasa terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ialah kekal di satu lorong melainkan perlu bergerak keluar daripada laluan.\nGunakan lampu isyarat kereta\nKadangkala, banyak pemandu yang tidak menggunakan isyarat di jalan raya. Apabila terdapat banyak pemandu lain di sekeliling, pemandu bertanggungjawab untuk memberitahu pengguna jalan raya lain perkara yang akan kita lakukan. Walaupun kita tidak sepatutnya keluar dan masuk lorong, tetapi kadang-kadang kita perlu melakukannya demi kelancaran perjalanan.\nMemaklumkan perkara yang akan kita lakukan kepada orang ramai melalui isyarat seperti menggunakan lampu isyarat kereta bukan sahaja suatu tindakan yang selamat, malah memudahkan diri sendiri apabila ada pemandu lain yang membenarkan kita untuk memotong di hadapan kenderaan mereka.\nRancang perjalanan\nPerancangan yang betul boleh mengelakkan pemandu daripada terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalu lintas yang teruk. Antara perkara yang membawa kepada kesesakan lalu lintas termasuklah:\nNamun begitu, kesesakan lalu lintas ada kalanya boleh berlaku tanpa dijangka. Oleh itu, pengetahuan tentang laluan alternatif ke destinasi yang ingin dituju adalah sangat membantu.\nPastikan juga kenderaan berada dalam keadaan yang baik sebelum memulakan perjalanan jauh. Periksa fungsi brek, tayar dan paras bendalir. Sekiranya berlaku kerosakan, pemandu lebih mudah untuk menyelesaikan masalah tersebut.\nHindari gangguan pemanduan\nWalaupun kelihatan remeh, peringatan tentang kesalahan menghantar mesej semasa memandu perlu diingatkan berulang kali. Pemandu hendaklah sentiasa fokus di jalan raya pada setiap masa, terutamanya ketika berada dalam kesesakan lalu lintas.\nKeadaan kenderaan yang bergerak lebih perlahan tidak menjadikan pemanduan itu kurang berbahaya. Bergerak dengan perlahan dan berhenti sepenuhnya merupakan satu perubahan besar dalam pemanduan.\nTindakan menghantar mesej semasa memandu akan mengalihkan pandangan kita daripada jalan selama lima saat. Dengan adanya kenderaan lain yang banyak di jalan raya, masa yang sedikit ini sudah mencukupi untuk menyebabkan kemalangan besar.\nElakkan menghantar mesej, menyemak e-mel atau menukar siaran radio apabila berada dalam kesesakan lalu lintas. Jika pemandu perlu menghantar mesej atau membuat panggilan segera, mereka perlu keluar daripada barisan lalu lintas yang sesak itu terlebih dahulu.\nMengetahui jarak yang sesuai\nPemandu disyorkan untuk mengekalkan masa antara tiga saat hingga lima saat dengan pemandu kenderaan di hadapan. Cara yang baik untuk mengukur jarak ini adalah dengan menggunakan objek yang stabil.\nPemandu perlu mula mengira apabila kereta di hadapannya melepasi tiang lampu. Jika telah melepasi tiang lampu yang sama selepas kiraan tiga, pemandu berada dalam zon yang selamat.\nPemandu juga perlu peka dengan lampu brek kenderaan di hadapan. Jika kenderaan di hadapan kenderaan pemandu mula perlahan, jarak yang sama harus dikekalkan.\nMemandu secara proaktif\nSentiasa menjangkakan perkara yang tidak dijangkakan berlaku supaya kita lebih bersedia. Hanya kerana kita mengamalkan pemanduan selamat tidak bermakna semua orang di sekeliling kita juga begitu.\nKadangkala, pemandu lain memandu dalam keadaan berbahaya atau mungkin mereka melakukan kesilapan semasa pemanduan. Walau apa-apa pun situasi, pemandu harus sentiasa peka dan bersedia untuk mengelak kenderaan lain, terutamanya ketika berada dalam kesesakan lalu lintas.\nBersabar\nMemandu dalam keadaan emosi yang marah boleh membawa kepada pemanduan yang agresif dan tidak bertanggungjawab serta menyebabkan semua orang di jalan raya dalam bahaya.\nAntara petua untuk memastikan diri kita lebih tenang termasuklah mendengar muzik yang disukai, mainkan buku audio, mendengar audio siar yang menenangkan dan menarik nafas dalam-dalam. Kesedaran tentang jalan raya adalah milik bersama dan kesesakan lalu lintas yang berlaku berkemungkinan untuk kebaikan pada masa hadapan dapat membantu pemandu kekal tenang semasa berada di atas jalan raya.\nJalan terus\nKeadaan lalu lintas yang padat ialah perkara biasa berlaku akibat kemalangan atau kecemasan. Jika hal ini berlaku, jangan biarkan perkara itu mengubah fokus pemanduan. Arahkan pandangan kepada pemandu lain di sekeliling dan jalan raya. Elakkan diri daripada melihat atau merakamkan kemalangan yang terjadi.\nBerehat jika perlu\nSekiranya pemandu mula berasa cemas, marah atau tidak sabar, ambillah sedikit masa untuk berehat. Keluar daripada barisan kenderaan ke bahu jalan dan regangkan kaki serta menarik nafas dalam-dalam. Masa antara satu minit atau dua minit tambahan ini dapat membantu mengekalkan kepekaan dan kewajaran pertimbangan dalam membuat sesuatu keputusan.\nSementara itu, pemandu juga perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kecemasan seperti menyimpan kit kecemasan di dalam kenderaan seperti peti pertolongan cemas, air, makanan tidak mudah rosak dan lampu suluh. Sekiranya pemandu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas untuk tempoh yang panjang, bekalan kecemasan ini dapat membantu mengurangkan tekanan.\nMemandu dalam kesesakan lalu lintas yang panjang boleh menjadi suatu tekanan dan berbahaya. Walau bagaimanapun, dengan pengetahuan yang betul, pemandu boleh kekal selamat dan memastikan tingkah laku mereka tidak membahayakan diri sendiri ataupun orang lain. Pemandu perlu diingatkan bahawa keselamatan di jalan raya bermula dengan sikap pemandu itu sendiri.\nSebagai kesimpulannya, pemandu haruslah cakna akan tindakan mereka dan akibatnya terhadap pengguna jalan raya yang lain. Panduan yang diberikan adalah untuk memastikan bahawa langkah berjaga-jaga yang diperlukan untuk pemanduan yang selamat semasa kesesakan lalu lintas.\nDr. Suzielah Rahmad ialah penyelidik bebas dan Profesor Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff ialah pensyarah daripada Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia." "Fenomena Gerhana Bulan Penumbra Dapat Dilihat Mulai Malam Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Rakyat Malaysia berpeluang untuk melihat fenomena gerhana bulan penumbra malam ini setelah dapat menyaksikan fenomena gerhana matahari separa pada 20 April 2023 yang lalu.\nMenurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), fenomena itu akan berlaku 5.5 hari sebelum bulan berada pada kedudukan yang paling dekat dengan bumi, iaitu pada jarak 404 923 kilometer.\n\u201cGerhana bulan penumbra melibatkan tempoh selama 258.3 minit dan fenomena tersebut dapat dilihat secara keseluruhan di Afrika, Australia dan Asia termasuklah di Malaysia,\u201d menurut MYSA dalam satu kenyataan.\nBerdasarkan kenyataan berkenaan juga, permulaan fasa gerhana penumbra di negara ini akan berlaku mulai pukul 11.14 malam pada 5 Mei 2023, manakala fasa gerhana maksimum, iaitu 96.55 peratus daripada bulan yang akan melintasi bayang-bayang penumbra bumi pula akan berlaku pada pukul 1.24 pagi pada keesokan harinya dan berakhir pada pukul 3.33 pagi apabila bulan keluar sepenuhnya daripada bayang-bayang penumbra bumi.\nRakyat Malaysia berpeluang untuk menyaksikan keseluruhan fenomena tersebut di mana-mana sahaja kerana bulan berada di atas ufuk ketika fenomena itu berlaku, namun bergantung pada cuaca semasa.\nWalau bagaimanapun, kenampakan gerhana bulan penumbra adalah amat sukar jika dilihat dengan menggunakan mata kasar kerana bayang-bayang penumbra bumi adalah lebih samar jika dibandingkan dengan bayang-bayang umbra bumi yang lebih gelap sekali gus menyebabkan gerhana bulan penumbra kelihatan hanya sedikit lebih gelap dan hampir sama dengan bulan penuh biasa.\nPeluang untuk melihat kesan gerhana penumbra mungkin menjadi lebih baik jika rakyat melihat fenomena tersebut dengan menggunakan peralatan bantuan seperti binokular, teleskop dan kamera serta membuat perbandingan kecerahan bulan sebelum, semasa dan selepas gerhana berlaku.\nOrang awam juga boleh mengikuti siaran langsung fenomena tersebut melalui Facebook rasmi Planetarium Negara bermula pukul 11.15 malam ini.\nKredit gambar: Facebook Agensi Angkasa Malaysia" "Ubat Jerawat dan Kecacatan Janin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJerawat terjadi akibat liang roma pada kulit tersumbat, sama ada dengan sel kulit mati atau minyak (sebum) yang dihasilkan secara berlebihan oleh kelenjar minyak. Pembiakan bakteria pada liang roma yang tersumbat akan mengakibatkan keradangan dan pembentukan jerawat. Antara faktor penyebab jerawat termasuklah perubahan hormon badan, tekanan perasaan serta penggunaan produk kulit atau kosmetik yang tidak sesuai.\nUbat-ubatan yang lazim digunakan untuk merawat jerawat termasuklah benzoil peroksida, asid salisilik, antibiotik dan isotretinoin. Benzoil peroksida bertindak dengan merencatkan pertumbuhan bakteria dan mengurangkan keradangan kulit muka.\nSediaan topikal asid salisilik pula membantu mengurangkan sumbatan liang roma, manakala ubat ubat antibiotik, sama ada sediaan oral atau topikal dapat menghalang pembentukan koloni bakteria. Sebelum memulakan pesakit dengan rawatan, doktor akan menilai keadaan jerawat yang dialami dan memberikan pilihan rawatan yang bersesuaian.\nUbat Isotretinoin \nUbat isotretinoin adalah antara ubat yang lazim diberikan kepasa pesakit, terutamanya mereka yang mengalami jerawat batu (nodules) dan sista (cysts). Isotretinoin yang merupakan derivatif vitamin A berkesan merawat jerawat dengan mengurangkan penghasilan sebum di permukaan kulit bagi mengelakkan liang roma tersumbat. Selain itu, isotretinoin juga mengurangkan penghasilan keratin yang menyebabkan permukaan kulit menjadi kasar.\nDos isotretinoin bergantung pada berat badan pesakit. Dos permulaan yang diberikan ialah sekitar 0.5 miligram per kilogram(mg/kg) sehari dan dos boleh dinaikkan secara berkala hingga satu mg/kg sehari. Sebagai contohnya, jika berat pesakit ialah 60 kilogram, kebiasaannya dos rawatan yang diberikan adalah antara 30 miligram hingga 60 miligram sehari.\nPesakit dinasihatkan agar mengambil ubat isotretinoin dengan makanan yang tinggi kandungan lemak bagi membantu meningkatkan penyerapan ubat ini. Pesakit juga perlu melengkapkan tempoh rawatan selama 16 minggu hingga 24 minggu untuk mendapatkan kesan yang optimum. Kesan ubat ini juga dapat dilihat seawal lapan minggu selepas rawatan dimulakan.\nNamun begitu, penggunaan isotretinoin boleh memberikan kesan sampingan yang tidak diingini seperti kekeringan kulit pada mata dan bibir, jangkitan mata (konjunktivitis), kulit terlalu sensitif terhadap cahaya matahari, perubahan emosi, sakit otot dan sendi.\nUbat Kategori Teratogenik \nIsotretinoin dikategorikan sebagai ubat teratogenik. Penggunaan ubat ini oleh wanita hamil boleh menyebabkan kecacatan atau keguguran janin. Oleh sebab itu, pesakit wanita yang berpotensi untuk mengandung perlu diberikan kaunseling supaya mereka jelas akan risiko kesan sampingan ubat ini.\nSehubungan dengan itu, bagi mengurangkan peluang untuk hamil, pesakit disarankan menggunakan kaedah kontraseptif sebulan sebelum memulakan rawatan isotretinoin, sepanjang tempoh pengambilan ubat tersebut dan sekurang-kurangnya sebulan selepas rawatan tamat.\nSelain itu, bagi memastikan ubat ini digunakan secara terkawal, ubat ini hanya boleh dipreskripsikan kepada pesakit oleh pakar kulit. Pesakit juga perlu menjalani ujian darah dan dipantau secara berkala bagi memastikan rawatan dengan ubat isotretinoin adalah sesuai dan selamat untuk diteruskan.\nPembelian Ubat Jerawat secara Dalam Talian\nTerdapat produk tidak berdaftar yang mengandungi ubat isotretinoin dan dijual secara berleluasa melalui platform media sosial oleh individu yang tidak bertanggungjawab.\nBahkan, produk ini dipromosi sebagai ubat terbaik untuk merawat jerawat melalui testimoni atau iklan tidak sah yang dipaparkan oleh penjual produk kulit. Pada kebiasaannya, iklan seperti ini tidak memperoleh kelulusan daripada pihak berkuasa, iaitu Lembaga Iklan Ubat.\nOleh sebab itu, orang ramai disarankan supaya lebih berwaspada dan mengelakkan diri daripada membeli ubat jerawat secara dalam talian. Bagi menyelesaikan masalah jerawat, orang ramai digesa supaya mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi untuk rawatan yang lebih berkesan dan selamat.\nSekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).\n\u00c2\u00a0\nRencana ini disediakan oleh Wong Shuen Nie, Pegawai Farmasi UF48, Hospital Port Dickson dan disemak oleh Dr. Preamala a/p Gunabalasingam, Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Dermatologi, Hospital Tuanku Jaafar Seremban." "Mahasiswa UKM Berpeluang Tingkat Kemahiran Klinikal dan Kemasyarakatan menerusi OPKOM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGelang Patah \u2013 Operasi Khidmat Masyarakat Optometri (OPKOM) yang merupakan program tahunan Persatuan Mahasiswa Optometri Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diadakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penjagaan mata dan membolehkan mahasiswa mengaplikasikan amalan nilai kemasyarakatan dan pengetahuan klinikal kepada penduduk kampung.\nOPKOM yang dianjurkan dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Iskandar, Yang Berhormat Datuk Haji Pandak Ahmad dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Sungai Melayu serta dijayakan oleh 67 orang mahasiswa Program Optometri dan Sains Penglihatan di bawah seliaan 15 orang pensyarah, penyelia klinikal dan kakitangan Program Optometri dan Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UKM telah mendapat sambutan yang baik dalam kalangan penduduk kampung.\n\u201cProgram ini merupakaninisiatif yang baik kerana bukan sahaja mampu memeriksa tahap kesihatan mata penduduk kampung, malah dapat memperbetulkan salah faham dan mitos mengenai kesihatan mata,\u201c kata Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Yang Berhormat Dato\u2019 Haji Mohd Haffiz Haji Ahmad ketika merasmikan program OPKOM tersebut.\nPada masa yang sama, Naib Canselor UKM, YBhg. Profesor Dato\u2019 Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Haji Toriman turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pemimpin setempat yang telah memberikan ruang dan peluang kepada mahasiswa UKM untuk menyumbang kebitaraan mereka dalam bidang kesihatan kepada pihak yang memerlukan.\nPelbagai acara diadakan dalam program tersebut, misalnya pameran pemeriksaan mata percuma, pameran klinikal, penganjuran aktiviti bersama-sama murid Sekolah Kebangsaan Kampung Sungai Melayu dan pemberian 200 pasang cermin mata percuma kepada individu yang layak.\nLions Group International dengan kerjasama Universiti Konan, Kobe, Jepun yang diwakili oleh pensyarahnya, Shari Yamamoto juga menyumbang 98 pasang cermin mata kitar semula dalam program berkenaan.\nProgram tersebut turut melibatkan rakan kolaborasi strategi seperti Hoya Vision Care (HOYA) sebagai penaja utama, Hanizah Optometry, Prisma Optometrist, Ar Rayyan Optometry dan Millennium Vision." "Rakyat Malaysia Disaran Membeli Insurans sebagai Persediaan Kecemasan sebelum ke Thailand\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSongkhla \u2013 Rakyat Malaysia yang ingin berkunjung ke Thailand disarankan agar membeli insurans seperti insurans wajib, insurans sukarela dan insurans perjalanan yang ditawarkan sebagai persediaan awal sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau kemungkinan yang tidak diingini semasa berada di negara tersebut seperti kemasukan ke wad, kemalangan, sakit secara tiba-tiba ataupun dijangkiti penyakit COVID-19.\nMemandangkan kos rawatan di hospital swasta di Thailand berkemungkinan boleh mencecah beberapa kali ganda lebih tinggi daripada kos rawatan di Malaysia, maka pemegang insurans akan mendapat perlindungan risiko dalam menghadapi sebarang kemungkinan tersebut.\nDemikian pemakluman yang disampaikan oleh Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand, Encik Muhammad Ridzuan Abu Yazid selepas mengiringi Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang berkenan berangkat menyampaikan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada dua masjid di wilayah Songkhla, Thailand yang masing-masing berjumlah RM1000, baru-baru ini.\nBaginda disambut mesra oleh Datuk Bandar Songkhla, Wanchai Parinyasiri, Timbalan Datuk Bandar Songkhla, Wichakorn Buehom dan para pegawai masjid ketika persinggahan pertama baginda di Masjid Asasul Islam.\nSeterusnya, baginda juga berkenan berangkat ke Masjid Assalam dan wakil masjid berkenaan, Kittipong Saengbuamad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada baginda dan menyatakan bahawa sumbangan zakat MAIPs yang disumbangkan itu akan digunakan dengan sebaik-baiknya.\nTerdahulu, baginda berdua yang berangkat tiba di Songkhla City Park berdekatan dengan Pantai Samila turut berkenan mengadakan lawatan diiringi oleh Presiden Majlis Pelancongan Songkhla, Chanin Sakarin buat julung-julung kalinya ke Muzium Ban Nakorn Nai yang diasaskan oleh Krachang Jaruprukphan yang telah menghidupkan semula bandar lama Songkhla.\nMuzium tersebut mempamerkan barangan antik yang amat berharga seperti perabot antik lama, kayu, meja dan pinggan mangkuk daripada zaman purba China serta mempamerkan potret Raja Bhumibol Adulyadej." "Seminar Kemahiran Penulisan dan Pembentangan Saintifik Tingkat Kemahiran Penulisan Pelajar Siswazah dan Penyelidik UKM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Seminar Kemahiran Penulisan dan Pembentangan Saintifik yang dianjurkan oleh Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mampu menyebarluaskan ilmu pengetahuan dalam bidang penerbitan berkaitan dengan kemahiran penulisan dan pembentangan saintifik yang diperlukan oleh pelajar siswazah dan penyelidik UKM.\nSeminar yang disampaikan oleh Pengarah Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik, Universiti Putra Malaysia merangkap Felow Akademi Sains Malaysia, YBrs. Profesor Dr. Ahmad Zaharin Aris bertujuan memberikan panduan penulisan dan pembentangan saintifik yang berkualiti agar para peserta dapat menerbitkan penulisan mereka dan berkeyakinan tinggi semasa melakukan pembentangan hasil kajian yang dilakukan.\n\u201cPenulis perlu memahami bahawa sesebuah jurnal itu boleh menerima hingga 100 penghantaran manuskrip dalam tempoh seminggu, maka manuskrip yang dihantar perlulah berkualiti dan bebas daripada segala kesalahan bagi mengelakkan risiko penulisan manuskrip tersebut ditolak,\u201d ujar YBrs. Profesor Dr. Ahmad Zaharin Aris ketika menyampaikan ceramah.\nSemasa sesi seminar tersebut berlangsung, panduan dan contoh kesalahan penulisan pada manuskrip dikongsikan oleh penceramah untuk dijadikan rujukan kepada para peserta serta kaedah penggunaan slaid pembentangan turut diperincikan bagi menghasilkan pembentangan yang berimpak tinggi.\nSekiranya penolakan manuskrip berlaku, penulis boleh memberikan masa kepada diri untuk memperbaik penulisan manuskrip, namun haruslah berdisiplin terhadap masa dan tidak terlalu mengambil masa yang lama untuk menulis semula.\nPada akhir sesi seminar berkenaan, peserta didedahkan dengan realiti masa kini, yakni graduan yang mempunyai bilangan penerbitan yang tinggi lebih menonjol jika dibandingkan dengan individu lain, terutamanya jika ingin menceburi bidang akademik." "Kapasiti Jana Tenaga Boleh Diperbaharui Bakal Dipertingkat kepada 70 Peratus Menjelang Tahun 2050\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui (TBB) dalam sistem pembekalan elektrik akan ditingkatkan kepada 70 peratus menjelang tahun 2050 menerusi hala tuju pembangunan TBB.\nMenteri Ekonomi, Yang Berhormat (YB) Rafizi Ramli menyatakan bahawa sasaran tersebut adalah untuk mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada negara serta menarik syarikat multinasional, khususnya syarikat Renewable Energy 100 (RE100) untuk beroperasi di negara ini.\n\u201cMesyuarat jemaah menteri pada 3 Mei 2023 yang lalu telah bersetuju untuk meningkatkan kapasiti TBB kepada 70 peratus menjelang tahun 2050 di bawah Hala Tuju Pembangunan Strategik TBB selepas meneliti memorandum mengenai Hala Tuju Pembangunan dan Dasar Perdagangan TBB yang dibentangkan,\u201d kata beliau dalam sidang media bersama-sama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad.\nTambah beliau, kabinet juga bersetuju akan pelaksanaan pembangunan TBB diperluas berdasarkan prinsip kehendak pembeli dan penjual bagi menggalakkan pembabitan syarikat korporat.\nPemasangan sistem suria di bangunan kerajaan juga akan dipercepat dan dipertingkat menerusi peruntukan pembangunan bagi memberikan manfaat terus dari segi penjimatan bil elektrik kepada kementerian dan agensi kerajaan dengan peruntukan segera sebanyak RM50 juta.\nSusulan itu, beliau turut menyatakan bahawa peningkatan kapasiti TBB itu akan membolehkan lebihan kapasiti yang dijana didagangkan merentas sempadan dengan negara jiran di rantau ini menerusi mekanisme yang akan dibangunkan dan ditetapkan kerajaan melalui sistem pasaran tenaga elektrik rentas sempadan di bawah Dasar Perdagangan TBB dan seterusnya akan meletakkan Malaysia sebagai pusat TBB serantau.\nPenetapan sasaran baharu kapasiti TBB dan campuran tenaga yang meningkatkan peralihan kepada TBB sebanyak 11 kali ganda dari tahun 2023 ke tahun 2050 akan meredakan kos elektrik rakyat dalam tempoh jangka masa panjang apabila penjanaan tenaga elektrik beralih kepada TBB.\nKatanya lagi, usaha untuk meningkatkan kapasiti TBB dijangkakan memerlukan pelaburan baharu yang dianggarkan sebanyak RM637 bilion hingga tahun 2050 yang merangkumi pelaburan dalam sumber penjanaan TBB, pengukuhan infrastruktur grid termasuklah sambung tara, integrasi sistem penstoran tenaga dan kos operasi sistem rangkaian grid." "NIOSH Terima Lawatan Sambil Belajar Mahasiswa UKM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Sebanyak 32 pelajar Tahun 3, Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Kuala Lumpur telah mengadakan program lawatan sambil belajar ke Makmal Analisis Higen Industri, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), semalam untuk memberikan pendedahan terhadap peralatan atau instrumen untuk menganalisis sampel, khususnya dalam bidang amalan kesihatan industri (industrial hygiene).\nMenurut penyelaras kursus amalan kesihatan industri dan wakil program dalam kerjasama dengan pihak NIOSH, Profesor Madya ChM. Dr. Normah Awang, antara kerjasama yang dilakukan antara kedua-dua pihak termasuklah dalam bidang penyelidikan, pengajaran, pembelajaran dan perkembangan ilmu.\nDalam lawatan ini, wakil daripada pihak NIOSH, iaitu Encik Mohd Norhafsham Maghpor telah memberikan taklimat mengenai peralatan atau instrumen yang terdapat di makmal amalan kesihatan industri, perkhidmatan analisis yang ditawarkan oleh makmal, jenis sampel dan kadar bayaran yang dikenakan kepada pelanggan untuk setiap sampel untuk dianalisis.\n\u201cTerdapat juga beberapa makmal amalan kesihatan industri yang terlbat untuk melakukan penilaian atau ujian terhadap beberapa peralatan perlindungan diri (PPE) seperti respirator dan topeng muka, sama ada memenuhi spesifikasi yang telah ditetapkan,\u201d jelasnya lagi.\nEncik Norhafsham juga memaklumkan bahawa makmal analisis amalan kesihatan industri NIOSH telah diperakui memenuhi keperluan ISO/IEC 17025 oleh Jabatan Standard Malaysia.\nSkop akreditasi termasuklah dalam bidang ujian kimia dan mikrobiologi. Makmal analisis ini telah menyediakan perkhidmatan makmal berkualiti tinggi dalam bidang amalan kesihatan industri dan mengikut keperluan di bawah Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan kepada Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan) 2000 atau USECHH 2000 dan Kod Amalan Kualiti Udara Dalaman 2005.\nMenurutnya lagi, sampel yang diterima untuk dianalisis di makmal ini ialah sampel persekitaran tempat kerja yang akan dianalisis oleh Juruteknik Higen 1 (IHT1) seperti yang dikehendaki di bawah Bahagian VIII USECHH 2000 (Pemantauan Pendedahan di Tempat Kerja), sampel biokimia seperti air kencing dan darah yang akan dianalisis oleh Doktor Kesihatan Perkerjaan (OHD) mengikut keperluan di bawah Bahagian IX USECHH 2000 (Pemantauan Kesihatan) dan sampel mikrobiologi yang akan dianalisis oleh penilai kualiti udara dalaman sebagai pelengkap kepada Kod Amalan Kualiti Udara Dalaman 2005.\nLawatan yang diiringi oleh pensyarah, pegawai kesihatan persekitaran dan penolong pegawai kesihatan persekitaran ini turut berpeluang melawat makmal simulasi ventilator.\nSebelum lawatan berakhir, pihak UKM telah menyampaikan sijil penghargaan kepada pihak NIOSH sebagai tanda penghargaan atas persetujuan menerima lawatan tersebut." "Raja Puan Muda Perlis Berkenan Menyantuni Pesakit di Jabatan O&G, HTF\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar bersempena dengan Program Ziarah Rahmah Kepenggunaan anjuran Jabatan Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Perlis dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.\nKeberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Yang Berhormat (YB) Senator Puan Hajah Fuziah Salleh dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Perlis, Puan Norazah Jaafar.\n\u201cJabatan O&G di HTF memberikan perkhidmatan kepakaran dalam merawat ibu hamil dengan pelbagai masalah dan rawatan untuk wanita yang mempunyai masalah ginekologi,\u201d ujar Ketua Jabatan O&G, HTF, Puan Noor Aini Harun semasa sesi lawatan DYTM Raja Puan Muda Perlis ke HTF.\nMenurut beliau, Jabatan O&G di hospital berkenaan\u00a0yang diterajui oleh tujuh orang pakar, 21 orang pegawai terlatih, dua orang penyelia jururawat, 11 orang ketua jururawat, 86 orang jururawat terlatih, dua orang penolong pegawai perubatan, 32 orang pembantu perawatan kesihatan dan dua orang pembantu tadbir bermatlamat untuk memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan berkualiti kepada pesakit.\nDalam sesi lawatan tersebut, DYTM Raja Puan Muda Perlis turut berkenan beramah mesra dan mengurniakan cenderamata kepada ibu hamil yang berada di wad bersalin, HTF.\n\u201cWarga kerja di HTF seharusnya menjalankan tugas masing-masing dengan penuh berdedikasi dan bertanggungjawab,\u201d titah baginda semasa sesi lawatan berkenaan.\nTurut hadir dalam program tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan, YB Gan Ay Ling, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, YBrs. Dr. Ismuni Johari dan Pengarah Hospital Tuanku Fauziah, YBrs. Dr. Nordin Mohamed." "Utamakan Bahasa Melayu dalam Pelbagai Sektor Perkhidmatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Apabila tiba abad ke-21, aspek status bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan Malaysia tidak lagi dipersoalkan. Namun begitu, banyak cabaran dan isu tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan diperkatakan pada abad ke-21 ini.\nMenurut YBhg. Dato\u2019 Sri Mohd Shafiq Abdullah dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dengan kertas kerja yang berjudul \u201cIsu dan Cabaran Bahasa Melayu Abad ke-21 dalam Pengurusan dan Sektor Awam\u201d menyatakan bahawa penggunaan bahasa Melayu di peringkat kementerian awam berada pada tahap yang baik. Namun begitu, masih terdapat ruang bagi penambahbaikan ke arah memantapkan penggunaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam. Oleh itu, JPA amat komited dalam menjalankan dasar-dasar bahasa Melayu, iaitu penjawat awam mempunyai peranan yang penting dalam menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.\nTambahnya lagi, terdapat tiga isu dan cabaran yang telah dikenal pasti berkenaan dengan penggunaan bahasa Melayu dalam pengurusan dan sektor awam, iaitu jati diri individu, penggunaan bahasa Melayu di peringkat organisasi, dan peranan bahasa Melayu dalam penyampaian perkhidmatan.\nPerkhidmatan awam perlu menjadi contoh dan merupakan benteng hadapan dalam memartabatkan bahasa Melayu. Perkhidmatan yang utuh diterjemahkan melalui tahap penguasaan bahasa Melayu yang baik. Usaha serta komitmen yang berterusan adalah perlu bagi memartabatkan bahasa Melayu di persada antarabangsa. Selain itu, adalah menjadi tanggungjawab dan amanah penjawat awam untuk memastikan bahasa Melayu sentiasa dimanfaatkan sepanjang zaman.\nSementara itu, bagi YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim dengan kertas kerjanya yang berjudul \u201cIsu dan Cabaran Bahasa Melayu Abad ke-21: Sudut Pandangan Malaysia\u201d, isu dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam konteks dasar dan pelaksanaannya di Malaysia dapat dilihat dari segi sikap masyarakat terhadap bahasa kebangsaan, keupayaan bahasa Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Selain itu, tambah beliau, cabaran globalisasi dan peranan bahasa Inggeris bukan sahaja dalam konteks negara Malaysia tetapi juga dunia yang lebih luas.\nSemua cabaran dan isu ini dapat diatasi sekiranya langkah diatur dengan cermat berserta sikap yang perlu diubah dapat dipupuk.\nMenurut YBhg. Prof. Dr. Harun Joko Prayitno dari Universitas Muhammadiyah Surakarta, Indonesia dengan kertas kerjanya yang berjudul \u201cPenguatan Perjuangan, Politik dan Pemartabatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Dunia Abad 21, Era Komputasi-Komunikasi Global\u201d, menjelaskan fungsi bahasa adalah untuk memartabatkan dan memanusiakan masyarakat penggunanya. Usaha memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat dunia sama fungsinya dengan usaha memartabatkan masyarakat pengguna bahasa Melayu.\nTambahnya lagi, antara sebab bahasa Melayu boleh diangkat ke peringkat dunia adalah kerana bahasa Melayu mempunyai ciri kekuatan dan kesantunan dalam peradaban kebudayaan dan perkembangan keilmuan.\nBahasa Melayu mempunyai inovasi kebudayaan serta kosa kata bahasa Melayu yang memberikan kesantunan dalam bidang kesenian. Santun dalam bahasa Melayu dapat dilihat dari segi sikap masyarakat dan dukungan politik dalam bidang bahasa, yang bukan hanya sebagai bahasa rasmi di ASEAN tetapi perlu diangkat ke peringkat dunia. Bahasa Melayu juga ialah bahasa komunikasi dan perlu dimartabatkan khususnya kepada anak-anak muda generasi kini.\nPeserta akhir, iaitu YBhg. Prof. Dr. Karl Alexander Adelaar dari Universiti of Melbourne, Australia pula membentangkan kertas kerjanya yang berjudul \u201cPengantarabangsaan Bahasa Melayu di Kawasan Lautan India\u201d menyatakan bahawa orang Melayu yang membawa kemasukan Islam ke Madagaskar. Dapat dilihat bahawa dukungan daripada masyarakat setempat dan buku-buku dalam bahasa Melayu yang digunakan oleh penduduk setempat banyak membuktikan bahawa kebudayaan dan infrustruktur Melayu banyak dipengaruhi oleh bahasa Melayu. Begitu juga dengan kesusasteraan yang juga banyak dipengaruhi oleh unsur Melayu.\nDemikianlah penerangan menarik daripada para peserta Sidang 1: Isu dan Cabaran Bahasa Melayu Abad ke-21, dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang telah berlangsung pada pukul 10.00 pagi tadi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP. Moderator Sidang 1 ialah YBrs. Dr. Kamarul Zaman Haji Yusoff dari Universiti Utara Malaysia." "Pengurusan Berat Badan bagi Pengguna Kerusi Roda dengan Kecederaan Saraf Tunjang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPengurusan berat badan adalah penting untuk kesihatan dan menjamin kualiti hidup yang lebih baik. Namun begitu, untuk mengekalkan berat badan yang sihat dan ideal boleh menjadi cabaran kepada sesiapa sahaja termasuklah pengguna kerusi roda yang mengalami kecederaan saraf tunjang. Hal ini terjadi terutamanya semasa musim perayaan yang melibatkan makanan yang banyak dan menyelerakan.\nTerdapat beberapa petua dan panduan yang boleh membantu dalam pengurusan berat badan semasa musim perayaan bagi pengguna kerusi roda yang mengalami kecederaan saraf tunjang. Antaranya termasuklah:\nPengguna kerusi roda yang mengalami kecederaan saraf tunjang disarankan untuk tidak mengabaikan rutin pemakanan harian walaupun semasa musim perayaan. Sentiasa pastikan anda makan secara berkala dan teratur.\nPengambilan kalori harian yang disyorkan untuk pengguna kerusi roda yang tercedera saraf tunjang bergantung pada beberapa faktor seperti jantina, umur, berat badan, tahap aktiviti fizikal dan keperluan kalori individu.\nWalau bagaimanapun, terdapat anggaran purata kalori yang boleh dirujuk berdasarkan Piramid Makanan Malaysia 2020. Untuk kumpulan sasaran yang berumur antara 18 tahun hingga 59 tahun, saranan kalori adalah antara 1500 kilokalori hingga 2000 kilokalori untuk pengambilan harian.\nIndividu yang tercedera saraf tunjang dan menggunakan kerusi roda biasanya mempunyai tahap aktiviti fizikal yang rendah atau sedentari. Maka, keperluan kalori harian adalah lebih rendah daripada individu yang mempunyai tahap aktiviti yang tinggi dan aktif.\nAnda boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau menggunakan aplikasi MyFitnessPal untuk mengetahui jumlah kalori makanan di Malaysia.\nSekiranya makanan yang disediakan semasa perayaan mengandungi gula dan lemak berlebihan, cuba kurangkan pengambilan saiz atau bahagian makanan tersebut. Sebaik-baiknya, perbanyakkan pengambilan buah-buahan, sayuran dan sumber protein yang rendah lemak dan rendah gula dalam diet anda.\nGula menggemukkan kerana mengandungi kalori. Kalori ialah unit pengukuran yang digunakan untuk mengukur jumlah tenaga yang terdapat di dalam makanan atau minuman. Setiap kali kita mengambil makanan atau minuman yang mengandungi gula, kita juga mengambil kalori.\nApabila kita mengambil lebih banyak kalori daripada yang digunakan atau diperlukan, lebihan kalori tersebut akan disimpan sebagai lemak di dalam badan. Jika kita mengambil terlalu banyak kalori pula, badan akan menyimpan lebih banyak lemak dan hal ini akan menyebabkan berat badan meningkat.\nCuba untuk memilih saiz hidangan yang sesuai dengan keperluan anda dan jangan terlalu banyak memilih makanan yang tinggi kalori. Sentiasa pastikan pemakanan anda seimbang dan mencukupi dengan Pinggan Sihat Malaysia yang menekankan konsep suku suku separuh. Ini membantu menjaga berat badan yang sihat dan juga kesihatan anda.\nAnda boleh mendapatkan panduan pemakanan sihat sempena hari raya Aidilfitri di sini. Terdapat juga panduan dan resipi penyediaan makanan yang sihat jika anda ingin menganjurkan rumah terbuka. Anda boleh mendapatkan panduan tersebut di sini.\nJangan terlalu lama duduk di kerusi roda tanpa bergerak. Cuba untuk bergerak aktif sebanyak mungkin dengan melakukan senaman atau aktiviti fizikal selama beberapa minit setiap hari.\nGinis et al.\u00c2\u00a0(2017) telah mencadangkan bahawa senaman aerobik perlu dilakukan sekurang-kurangnya selam 20 minit bagi setiap sesi sebanyak dua kali seminggu. Senaman aerobik ini adalah seperti mengayuh kerusi roda, senaman tinju dengan menggunakan beg tumbuk atau melakukan senaman basikal tangan. Senaman perlu dilakukan dengan intensiti sederhana sehingga tinggi ataupun sehingga berasa sedikit mengah tetapi masih mampu untuk bercakap.\nSentiasa pastikan anda minum air yang mencukupi. Tindakan ini membantu untuk mengelakkan anda daripada terlalu makan dengan banyak di samping mengekalkan badan yang sihat.\nMinum air yang mencukupi pada setiap hari adalah satu daripada cara yang boleh membantu mengawal berat badan. Hal ini dikatakan demikian kerana air dapat membantu membuang toksin, memelihara fungsi badan yang baik serta memberikan rasa kenyang yang dapat membantu mengurangkan pengambilan makanan yang berlebihan.\nAir juga dapat membantu meningkatkan kadar metabolisme tubuh. Apabila kita minum air yang cukup, badan kita dapat menghasilkan lebih banyak tenaga yang membantu membakar kalori dan lemak dalam badan.\nWalau bagaimanapun, pesakit saraf tunjang perlu mengikut jumlah pengambilan air yang disyorkan kerana setiap pesakit mempunyai kaedah mengawal dan pembuangan air kencing yang tersendiri.\nSemoga panduan ini membantu anda dalam menjaga berat badan yang sihat semasa musim perayaan. Perlu diingatkan bahawa pengurusan berat badan adalah penting untuk kesihatan umum dan kualiti hidup yang lebih baik.\nSila layari portal rasmi KKM melalui pautan ini untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai panduan pemakanan di Malaysia.\n\u00a0\nDr. Noor Hafifi Noor Hisham, Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas, Fakulti Sains Kesihatan (Fisioterapi), Universiti Kebangsaan Malaysia.\nProfesor Madya Dr. Norazmir Md. Nor, Institut Farmakogenomiks Integratif (iPROMISE) dan Fakulti Sains Kesihatan (Pemakanan), Universiti Teknologi MARA." "ResearchConnect: Pangkalan Data bagi Sumber Pembiayaan Penyelidikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSemenjak lima tahun kebelakangan ini, dunia telah berubah dengan pantas. Pengenalan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), mata wang kripto, kereta elektrik, token tidak sepiawai (NFT), rancangan penjelajahan koloni manusia ke Marikh oleh Elon Musk, pengenalan ChatGPT dan lain-lain telah membawa manusia semakin maju kehadapan. Perubahan ini meliputi pelbagai aspek dan bidang penyelidikan serta pembangunan juga tidak terkecuali menerima kesan daripada limpahan kemajuan teknologi ini.\nResearchConnect ialah perisian yang berbentuk pangkalan data untuk mencari pembiayaan dana penyelidikan yang dibina dan direka oleh komuniti penyelidikan antarabangsa. Perisian ini banyak digunakan di negara Eropah seperti United Kingdom (UK), Perancis, German, Poland, India dan Amerika Syarikat. Syarikat ini berpangkalan di UK dan telah bermula sejak tahun 2000.\nResearchConnect diwujudkan untuk membekalkan para penyelidik dengan maklumat yang berkaitan dengan geran, tajaan, hadiah latihan persekutuan dan lain-lain yang mencari sokongan dana untuk menjalankan kajian mereka. Selain itu, ResearchConnect membekalkan pangkalan data terkini yang merangkumi pelbagai disiplin penyelidikan dan dikemas kini oleh pasukan pakar yang memantau dan melaporkan pelbagai sumber pembiayaan termasuk amanah amal, kerajaan, majlis penyelidikan, yayasan dan penaja korporat.\nResearchConnect menawarkan beberapa ciri seperti pangkalan data yang luas yang meliputi sumber dana penyelidikan, sama ada di dalam negara dan luar negara. Penyelidik boleh mencari dana penyelidikan yang sesuai mengikut bidang mereka masing-masing.\nKedua, ResearchConnect mempunyai carian intuitif yang dijana oleh AI. Fungsi ini membolehkan carian disesuaikan mengikut kehendak pemohon seperti jenis dan disiplin penyelidikan serta lokasi. Fungsi carian ini lebih kurang sama seperti yang terdapat di sisi kiri pangkalan data Scopus dan Web of Science (WoS) yang membolehkan pengguna untuk membuat tapisan mengikut kehendak mereka.\nKetiga, fungsi sinopsis yang sedia ada memberikan maklumat mengenai sesuatu program, kriteria kelayakan dan pautan kepada cara memohon. ResearchConnect juga mempunyai fungsi kemas kini dan makluman kepada tarikh akhir yang akan datang dan fungsi panggilan pembiayaan baharu. Kemudahan ini akan membantu penyelidik untuk menerima sebarang maklumat yang baharu dan mengurangkan risiko ketinggalan atau terlupa untuk memohon.\nDi samping itu, ResearchConnect mempunyai kemudahan untuk perkongsian, iaitu sebarang geran atau maklumat yang ditemukan boleh dikongsikan, sama ada melalui hantaran e-mel dan dikongsikan bersama-sama ahli kumpulan dan organisasi yang disimpan dalam format dokumen mudah alih (PDF).\nResearchConnect juga mempunyai pengurus akaun yang ditugaskan. Jika pengguna mempunyai sebarang masalah sewaktu menggunakan ResearchConnect, mereka boleh terus menghubungi pegawai yang berkenaan di India (lokasi pejabat bagi wilayah Asia). Jika masalah tersebut tidak dapat diselesaikan, isu tersebut akan dipanjangkan ke ibu pejabat ResearchConnect di UK.\nBuat masa ini, di sekitar Asia, ResearchConnect hanya diperkenalkan di Malaysia dan India. Di India, penggunaan ResearchConnect masih baharu, iaitu sekitar lima bulan hingga enam bulan yang lepas. Sementara itu, ResearchConnect baru memasuki pasaran Malaysia sejak tiga bulan yang lepas.\nSetakat ni, hanya Universiti Malaya yang baru menggunakan perisian web ResearchConnect. Dengan menggunakan kemudahan ini, masa penyelidik untuk mencari dana penyelidikan dapat dipendekkan kerana semua maklumat mengenainya boleh ditemukan dalam satu sumber.\nKelebihan ini akan menjadikan kecekapan kerja penyelidik bertambah, penyelidik dapat merancang dan merangka strategi masing-masing tentang geran yang diingin dapatkan dan meningkatkan kebarangkalian mereka mendapatkan geran tersebut berbanding dengan mencari di beberapa laman web yang berbeza.\n\u00a0\nRashid Ating, Penyelidik, Institut Penyelidikan Termaju, Jabatan Ekonomi dan Statistik Gunaan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya." "KKM Lancar Garis Panduan Mencegah dan Menangani Kekerasan Edisi Kedua Hari Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Garis Panduan Mencegah dan Menangani Kekerasan terhadap Warga Kerja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Fasiliti Kesihatan Edisi Kedua telah dilancarkan bersempena dengan Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2023 Peringkat Kebangsaan, hari ini.\nSambutan tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran antarabangsa tentang keselamatan dan kesihatan dalam kalangan pekerja dan majikan menerusi penerapan budaya kerja selamat dan sihat, memupuk tanggungjawab setiap individu untuk mencegah kemalangan, penyebaran penyakit ataupun kematian pekerja di tempat kerja serta bagi mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 8.8, iaitu persekitaran kerja yang selamat dan terjamin bagi semua pekerja menjelang tahun 2030.\n\u201cKekerasan dalam apa-apa jua bentuk, sama ada serangan fizikal, verbal, seksual ataupun bertulis adalah antara kekerasan di tempat kerja yang dikenal pasti sebagai satu daripada cabaran utama kepada warga KKM yang boleh mengganggu produktiviti kerja mereka,\u201d kata Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan.\nKetika pasca pelancaran garis panduan ini (edisi pertama) pada tahun 2017, sebanyak 167 kes kekerasan telah dilaporkan, sebanyak 442 kes pada tahun 2018 dan terus meningkat pada tahun 2019, iaitu sebanyak 494 kes.\nPada tahun 2020 pula, sebanyak 321 kes telah dilaporkan, manakala pada tahun 2021, sebanyak 260 kes diadukan semasa fasa pandemik COVID-19.\nKekerasan tersebut memberikan kesan negatif terhadap kualiti penjagaan perubatan dan menyebabkan kerugian dari aspek perbelanjaan dalam sektor kesihatan, sekali gus menjejaskan keselamatan, kesihatan psikologi dan fizikal serta prestasi kerja warga KKM.\nDengan adanya garis panduan berkenaan, kekerasan terhadap warga KKM dapat ditangani dengan lebih berkesan dan keselamatan serta kesejahteraan di tempat kerja terus terpelihara.\nGaris panduan tersebut juga menunjukkan komitmen yang diberikan oleh pihak pengurusan KKM dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan warga kerja KKM bagi memastikan mutu penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan terbaik dapat disampaikan kepada pelanggan sekiranya gangguan seumpama ini terhadap warga KKM dapat dikurangkan." "Pertandingan i-IDeA 2023 Cungkil Bakat Kreativiti dan Inovasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Majlis Penutupan Pertandingan Inovasi, Reka Bentuk dan Artikulasi Antarabangsa (i-IDeATM) Ke-6 2023 telah berlangsung pada 11 Mei di Dewan Seri Semarak, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis.\ni-IDeATM 2023 merupakan pertandingan yang mempamerkan dan mempertandingkan reka cipta inovasi dan idea yang dihasilkan oleh ahli akademik dan bukan akademik, penyelidik, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan luar negara dan sekolah menengah serta sekolah rendah di seluruh Malaysia.\nPertandingan tersebut telah berlangsung selama tiga hari bermula pada 9 Mei 2023 di UiTM Cawangan Perlis.\nRektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi dalam ucapan penutupan mengatakan bahawa pertandingan ini melibatkan aspek kreativiti dan inovatif dalam kalangan peserta. Ujarnya lagi,\nPertandingan ini diadakan untuk menggalakkan pembudayaan keupayaan kreatif dan pembaharuan dalam bidang penyelidikan dan teknologi.\nPertandingan ini juga melibatkan peserta dari luar negara seperti Indonesia dan Thailand.\nMelalui i-IDeATM 2023, banyak produk daripada universiti, institusi, agensi penyelidikan tempatan dan komuniti yang boleh dikomersialkan menjadi penjana pendapatan.\nDalam ucapannya juga, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan strategik luar negara seperti Prince of Songkla University, Princess of Naradhiwas University, Thailand dan Universitas Islam Riau, Indonesia yang terlibat secara langsung dalam program ini.\nPertandingan tersebut terbahagi kepada beberapa kategori, iaitu kategori Crown yang melibatkan penyertaan pihak profesional dan institusi pengajian tinggi.\nKategori Crystal dan Comiic pula membabitkan peserta dari sekolah rendah dan menengah serta dari pelbagai komuniti tempatan.\n\u00a0\nDalam majlis yang sama, turut diadakan sesi menandatangani Surat Hasrat antara UiTM Cawangan Perlis dengan agensi dan pihak-pihak yang berkaitan.\nAntara inti pati Surat Hasrat tersebut termasuklah memperluaskan hubungan dan kerjasama strategik yang melibatkan bidang penyelidikan dan penyuburan keilmuan, khususnya dalam bidang sains dan teknologi.\nDewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan antara pihak yang menandatangani Surat Hasrat tersebut melalui Pengarah Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa." "Pengaruh Kecerdasan Buatan dalam Bidang Seni dan Sastera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKecerdasan buatan (AI) merupakan sesuatu yang menakjubkan pada abad ini. Penciptaan AI merupakan tanda kebijaksanaan manusia dan menjadi asas kepada pembinaan robot atau mesin yang boleh membantu menyelesaikan masalah. Penggunaan AI dalam bidang seni dan sastera juga semakin mendapat perhatian di arena antarabangsa.\nKonsep data besar sangat berkaitan dengan AI. Data besar ialah kumpulan data yang amat banyak dan sedang bertambah dari segi saiz. Pada kebiasaannya, data ini dikumpulkan oleh sesuatu organisasi atau syarikat untuk memahami tingkah laku pengguna atau konsumer.\nAI boleh menggunakan data besar yang terdapat dalam Internet untuk mereka cipta seni atau sastera yang diperlukan oleh pengguna AI. Pembelajaran mesin merupakan teknik AI yang membolehkan komputer untuk belajar daripada pengalaman. Pakar sains computer boleh mencipta algoritma supaya sebuah komputer boleh mencapai objektifnya dengan belajar dari kesilapan.\nSebagai contohnya, sebuah program komputer, iaitu AlphaGo telah dicipta untuk mencabar pemain dalam permainan Go. Go merupakan permainan berpapan tradisional yang agak popular, terutamanya dalam kalangan masyarakat Asia Timur.\nDalam bidang seni lukis, AI memainkan peranan yang luas. Kini, AI boleh mencipta seni melalui aplikasi yang boleh dimuat turun ke dalam telefon pintar. Jenis seni yang dicipta adalah berdasarkan pilihan pengguna aplikasi tersebut.\nMisalnya, pengguna boleh memilih gaya seni Van Gogh sebagai dasar ciptaan seni lukis AI. Selepas itu, AI akan menghasilkan potret seni yang mempunyai gaya seni lukis yang sama dengan gaya Van Gogh. Dr. Simon Colton, seorang penyelidik dalam bidang kreativiti komputer yang telah mencipta The Painting Fool.\nThe Painting Fool ialah sebuah program komputer yang boleh melukis berdasarkan keadaan moodnya. Mood program komputer The Painting Fool dipengaruhi oleh jenis berita yang dibaca oleh program tersebut. Berita yang dibaca oleh The Painting Fool adalah rawak dan jika berita sedih dibaca, The Painting Fool akan melukiskan gambar yang bergaya suram.\nSeterusnya, AI juga boleh mencipta seni muzik dalam pelbagai gaya. Algoritma dan muzik mempunyai hubungan yang sangat rapat kerana kedua-duanya berkaitan dengan matematik. Profesor di University of California, Santa Cruz, iaitu David Cope telah mencipta sebuah program komputer untuk mencipta muzik klasik. Gaya muzik klasik yang dicipta adalah sama dengan gaya muzik komposer yang terkenal seperti Bach dan Mozart. Konsep penciptaan muzik oleh AI ini dikenali sebagai Experiments in Musical Intelligence (EMI). Muzik moden juga boleh dicipta oleh AI melalui aplikasi Soundful atau Beatoven,ai yang boleh diperoleh di Internet.\nDi samping itu, dalam dunia seni fesyen, AI menjadi isu yang hangat kerana boleh mereka pelbagai gaya pakaian yang moden. Pereka fesyen boleh menggunakan idea AI untuk membuat pakaian. Sebagai contohnya, AI boleh mereka cermin mata yang sesuai berdasarkan topografi muka. Teknologi ini dinamakan sebagai AI generatif dan boleh digunakan untuk menjangkakan corak pasaran fesyen dalam kalangan pengguna di samping membantu perniagaan fesyen untuk berkembang.\nPada 20 April hingga 21 April 2023, AI Fashion Week telah berlangsung di New York dengan mempamerkan fesyen rekaan AI. Pertandingan ini mendapat perhatian media antarabangsa kerana corak, warna dan gaya pakaian adalah berdasarkan idea AI.\nSelain itu, AI turut menyumbang dalam bidang sastera. AI boleh menulis surat, karangan dan sajak baharu. AI boleh membuat karya berdasarkan gaya sastera yang sama dengan gaya sastera penulis seperti yang dilakukan dalam bidang seni lukis dan bidang seni muzik.\nProgram AI hanya perlu menganalisis corak tatabahasa yang terdapat dalam karya tersebut untuk membuat karya yang baharu. Scheherazade-IF ialah sistem pembelajaran mesin berasaskan AI yang boleh mencipta cerita interaktif melalui pembelajaran daripada cerita yang ditulis oleh manusia. Jalan cerita interaktif akan bertukar-tukar berdasarkan pilihan pembaca.\nPihak wartawan juga boleh menggunakan AI untuk menulis berita berdasarkan data numerikal yang diperoleh. Nama program AI tersebut ialah Narrative Science.\nPenggunaan AI dalam bidang seni dan sastera mendapat sambutan yang baik di negara maju. Walau bagaimanapun, harus diingatkan bahawa AI akan membawa keburukan kepada masyarakat moden. Manusia akan semakin bergantung kepada AI untuk membuat karya seni dan tidak mengasah bakat mereka dalam bidang seni.\nSebenarnya, terdapat karya seni AI yang dikritik oleh pakar dalam bidang seni tertentu kerana karya tersebut dikatakan dicipta oleh sebuah mesin yang tidak mempunyai jiwa. Seni dicipta untuk menyampaikan sebuah mesej kepada masyarakat dan manusia yang tidak menghargai kemahiran membuat seni akan menghadapi masalah untuk menunjukkan keunikan seni sesebuah tamadun. Dalam sejarah manusia, setiap tamadun mempunyai gaya seni yang berbeza, namun pada zaman AI, ciri ini akan semakin hilang.\nPeluang pekerjaan juga dalam bidang seni visual akan terpengaruh. AI mungkin akan menggantikan artis seni visual kerana boleh mencipta pelbagai karya seni yang menarik dalam tempoh masa yang pendek.\nSituasi ini juga akan berlaku dalam bidang seni muzik. Sesetengah aplikasi AI adalah percuma untuk kegunaan asas supaya orang ramai tidak perlu membayar untuk memperoleh karya seni yang sesuai dengan tema yang dipilih.\nSelain itu, kemahiran baharu yang selaras dengan pasaran kerja harus dipelajari supaya tidak ketinggalan zaman. Industri permainan komputer dan video akan membuka peluang pekerjaan kepada artis yang mempunyai kemahiran melukis alam maya 3D sebagai grafik permainan komputer dan video.\nLazimnya, mahasiswa universiti perlu menyiapkan banyak tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Jika seseorang mahasiswa kesuntukan masa untuk menyiapkan tugasan tersebut, AI boleh digunakan untuk memberikan jawapan bagi setiap tugasan dengan cepat.\nDalam bidang sastera dan sains sosial, kreativiti manusia amat dihargai. Mahasiswa universiti harus belajar untuk berfikir secara kritikal bagi menyelesaikan masalah tugasan tanpa menggunakan AI.\nNamun begitu, sesetengah ahli akademik yang menyokong penggunaan AI dalam dunia akademik. Baru-baru ini, seorang ahli akademik telah menggunakan AI untuk menulis surat cadangan untuk seorang pelajar bagi membolehkan pelajar tersebut mendapat surat tawaran dari University of Cambridge. Akhirnya, pelajar tersebut berjaya diterima masuk oleh University of Cambridge.\nMasalah privasi pengguna juga merupakan antara keburukan penggunaan AI dalam bidang seni. Banyak aplikasi AI memerlukan maklumat peribadi pengguna sebelum pengguna boleh menggunakan aplikasi tersebut. Maklumat peribadi pengguna boleh disalah gunakan oleh pihak tertentu.\nPenghasilan karya digital oleh AI juga memberikan peluang kepada penggodam untuk mencuri hasil karya digital yang disimpan di dalam komputer atau telefon pintar. Karya digital yang dihasilkan oleh AI boleh dijual walaupun hak cipta tidak dimiliki oleh sesiapa. Oleh itu, penggodam boleh memperoleh keuntungan yang lumayan dengan menjual karya seni AI.\nAntara kebaikan AI dalam bidang seni termasuklah kemampuannya untuk mengurangkan kos galeri seni. Hasil karya AI ialah produk digital dan sesetengah golongan dalam masyarakat negara maju dan membangun amat menyanjungi karya seni digital.\nGaleri seni maya yang mempamerkan seni AI boleh dibina dan dikunjungi pelawat dari seluruh dunia melalui Internet. Galeri seni maya memerlukan kos yang lebih rendah untuk dibina dan diuruskan berbanding dengan galeri seni di dunia realiti.\nKeadaan ini memberikan peluang kepada golongan yang hendak mempromosikan dan menjual seni AI di luar negara dengan lebih mudah. Pemilik galeri seni maya hanya perlu mengupah moderator untuk menyelaraskan aktiviti yang diadakan di dalam galeri tersebut.\nAI akan membantu orang kurang upaya untuk menghasilkan karya seni digital dengan mudah. Hanya dengan menaip beberapa perkataan di telefon pintar yang mempunyai aplikasi AI, program AI boleh menghasilkan karya seni yang cantik.\nGolongan OKU akan berasa amat gembira kerana kuasa mencipta seni hanya berada di hujung jari. Pergerakan badan yang kompleks tidak diperlukan untuk menghasilkan karya seni apabila aplikasi AI digunakan. Kemudian, karya seni tersebut boleh dicetak dengan menggunakan mesin pencetak. Cat air dan berus cat tidak lagi diperlukan untuk menghasilkan karya seni visual.\nSebagai kesimpulannya, AI ialah teknologi yang memacu masa hadapan manusia. Komputer sains akan menjadi bidang yang sangat penting kerana memudahkan manusia dalam menyelesaikan pelbagai masalah. Walaupun AI memberikan banyak kebaikan kepada manusia, penggunaan AI harus dikawal supaya tidak disalahgunakan untuk melakukan jenayah yang boleh mengganggu kehidupan seharian masyarakat moden." "Kertas Putih Kesihatan: Medium Penambahbaikan Sistem Kesihatan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sistem kesihatan negara yang dibebani dengan pelbagai isu selepas kemelut pandemik COVID-19 telah mendorong negara melakukan reformasi dan penambahbaikan sistem kesihatan secara lebih menyeluruh dan berstruktur agar kesihatan rakyat terus terjaga melalui Kertas Putih Kesihatan yang sedang dibangunkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat (YB) Dr. Zaliha Mustafa.\nKertas Putih Kesihatan ialah dokumen pelan reformasi kesihatan yang menggariskan cabaran utama yang dihadapi oleh sistem kesihatan dan cadangan penyelesaian bagi memastikan kesihatan yang lebih berkualiti, mampan dan berdaya tahan serta dapat menempuhi pelbagai cabaran yang sedia ada dan akan datang.\n\u201cKertas Putih Kesihatan yang sedang dibangunkan merupakan satu hala tuju untuk membentuk sistem kesihatan yang lebih adil dan saksama, berkualiti tinggi, mudah dicapai, melibatkan kos yang berpatutan serta mampan untuk jangka masa yang panjang,\u201d kata Penasihat Khas kepada YB Menteri Kesihatan, YB Dr. Kelvin Yii Lee Wuen ketika ditemu bual secara langsung dalam program Jendela Fikir anjuran Bernama Radio.\nMenurut beliau, pembangunan Kertas Putih Kesihatan tersebut adalah untuk berkongsikan maklumat tentang reformasi kesihatan negara, menguar-uarkan usaha dalam menjadikan sistem kesihatan lebih mampan dan mampu memberikan perkhidmatan yang melangkaui semua peringkat kehidupan rakyat.\nDokumen berkenaan juga mencadangkan tonggak utama reformasi kesihatan seperti penyampaian kesihatan, pembiayaan kesihatan dan pengukuhan teras sistem kesihatan dan tadbir urus untuk jangka masa 15 tahun serta mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan yang bebas dan berkecuali untuk memantau dan memastikan segala reformasi kesihatan adalah efektif dalam jangka masa panjang.\nBeliau turut menjelaskan bahawa Kertas Putih Kesihatan bukanlah sesuatu yang baharu kerana telah dibangunkan dalamjangka masa yang agak panjang dan berasaskan input yang diperoleh secara inklusif daripada semua pihak yang berkepentingan, sama ada golongan dalaman ataupun di luar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).\nTambah beliau lagi, KKM juga telah terlibat dalam sesi libat urus yang telah dan masih dilaksanakan, yakni bukan sahaja menjalankan sesi town hall, malah pihak luar yang berkepentingan juga boleh memberikan cadangan secara dalam talian.\nBaru-baru ini, YB Dr. Zaliha Mustafa telah melancarkan sebuah laman web yang membolehkan orang ramai mengaksesnya untuk mengemukakan pelbagai cadangan yang bersesuaian.\nKKM juga mendapat nasihat kepakaran dan maklumat teknikal daripada Majlis Penasihat Kertas Putih Kesihatan dan barisan pakar perunding daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia.\nBeliau turut menegaskan bahawa sokongan daripada semua pihak amat penting dalam menjayakan agenda reformasi kesihatan serta membolehkan Kertas Putih Kesihatan tersebut dapat dibentangkan dan diterima pakai di Parlimen seperti yang diharapkan." "MCMC Perketat Kawal Selia Platform dalam Talian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Tindakan kawal selia yang lebih ketat akan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan campur tangan oleh pihak pengawal selia adalah diperlukan bagi melindungi kepentingan pengguna dan orang awam berikutan terdapat beberapa aplikasi over-the-top (OTT) dan platform media sosial yang dilihat gagal mengawal selia penggunaan platform mereka sejajar dengan kepentingan nasional dan perundangan negara.\nOleh hal yang demikian, MCMC akan mengkaji semula kerangka kawal selia sedia ada ekoran berlakunya peningkatan tahap kandungan yang dieksploitasi oleh penjenayah yang mencuba untuk menggugat keselamatan awam dan keharmonian negara ini.\n\u201cSelaku ahli dalam Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), kami akan bertindak terhadap mereka yang melanggar undang-undang bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional serta meneruskan usaha dalam memerangi aktiviti penipuan menerusi tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat,\u201d kata Pengerusi MCMC, YBhg. Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dalam satu kenyataan.\nMCMC juga tidak akan berkompromi dengan perbuatan menyalahgunakan platform dalam talian dan telekomunikasi, rangkaian ataupun kemudahan dalam talian untuk tujuan penipuan, aktiviti siber yang berniat jahat, memancing data (phishing), kandungan yang menggugat kestabilan dan keharmonian kaum serta penghinaan terhadap institusi Diraja.\nSejak penubuhan NSRC pada Oktober 2022, sebanyak 11 858 aduan yang berkaitan dengan penipuan telah diterima setakat April 2023.\nSelain itu, perangkaan yang diperoleh daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM bagi tempoh antara tahun 2021 hingga April 2023 mendedahkan sejumlah kerugian akibat penipuan dalam talian mencecah hingga RMI.2 bilion, manakala sebanyak 2125 berita palsu dilaporkan kepada MCMC bagi tempoh yang sama.\nKeperluan untuk mengenakan dan menguatkuasakan kewajipan terhadap individu yang mengendalikan platform sedemikian dan pihak yang mendapat manfaat daripada digitalisasi untuk mengambil langkah tegas bagi memastikan platform atau rangkaian kendalian mereka tidak digunakan sebagai forum untuk melanggar undang-undang negara ataupun mengancam kepentingan awam adalah sangat penting untuk dilaksanakan.\nSusulan itu, pengawal selia dan rakan industri di Singapura, Vietnam dan Indonesia telah bertindak menggubal undang-undang bagi mengawal selia aktiviti penipuan dalam sesetengah platform yang dimaksudkan selain mempertanggungjawabkan platform yang gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.\nKajian semula pendekatan kawal selia untuk melaksanakan tahap pengawasan yang lebih tinggi menerusi instrumen perundangan sedia ada termasuklah kajian semula ke atas pengecualian terhadap sesetengah aktiviti selain mengenakan sekatan jenayah dan arahan punitif terhadap entiti yang enggan mengambil langkah segera bagi memastikan aktiviti jenayah yang berlaku dalam rangkaian atau platform mereka dihentikan.\nTindakan tegas dan proaktif daripada MCMC adalah penting bagi memastikan masyarakat dilindungi dan mempunyai suatu persekitaran yang selamat dalam alam digital sekali gus dapat memperkasakan perlindungan kepada pengguna terhadap kemudaratan dalam talian." "i-IDeA 2023 Serlahkan Potensi Inovasi Penyelidik Tempatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Pertandingan Inovasi, Reka Bentuk dan Artikulasi Antarabangsa (i-IDeATM) ke-6 2023 yang berlangsung selama tiga hari, iaitu dari 9 hingga 11 Mei di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah disempurnakan penutupannya oleh Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi.\nMenurut Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim, pertandingan tersebut telah membuka peluang dan ruang kepada para peserta untuk melestarikan lagi budaya kreativiti dan inovasi.\nMelalui pertandingan tersebut, peserta perlu mempersembahkan dan mengetengahkan reka cipta inovasi dan idea yang menarik. Pertandingan inovasi tersebut terbahagi kepada beberapa kategori.\nPara peserta pertandingan tersebut dinilai sepenuhnya oleh juri profesional yang terdiri daripada ahli akademik dan pihak industri dari pelbagai institusi berdasarkan kepakaran dan pengetahuan dalam bidang masing-masing.\nAntara kategori yang dipertandingkan ialah Kategori Crown\u00a0melibatkan golongan profesional dan pelajar institusi pengajian tinggi, Kategori Crystal yang terbuka kepada pelajar sekolah rendah dan menengah serta komuniti, dan Kategori Comiic yang melibatkan pelajar sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi.\nYang berikut merupakan antara reka cipta inovasi dan idea yang meraih Anugerah Emas (Gold Award) dan Anugerah Berlian (Diamond Award) bagi setiap kategori yang dipertandingkan:\nAnugerah Emas (Gold Award)\nCrown A \n\u00a0\n\u00a0Crown B\nCrown C\nCrystal D\nCrystal E\nCrystal F\n\u00a0Comiic G\n\u00a0Comiic H\n\u00a0Comiic I\nAnugerah Berlian (Diamond Award)\nCrown A \nCrown B\nCrown C\n\u00a0Crystal D\nCrystal E\nCrystal F\nComiic G\n\u00a0Comiic H\n\u00a0Comiic I" "Pelatih ILKKM Sertai Bengkel Perkukuh Kemahiran Penyiasatan Fotografi Forensik dan Mikrobiologi Makanan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Bengkel Penyiasatan Forensik Fotografi dan Penyiasatan Forensik Mikrobiologi Makanan anjuran Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sungai Buloh dengan kerjasama Program Sains Forensik, Pusat Kajian Diagnostik, Terapeutik dan Penyiasatan (CODTIS), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memperkukuh kefahaman dan kemahiran para peserta dalam aspek penyiasatan fotografi forensik dan penyiasatan mikrobiologi makanan.\nBengkel tersebut disertai oleh pelatih Kursus Penyiasatan dan Pendakwaan Undang-undang Kesihatan Awam bagi memenuhi keperluan Modul Penyiasatan Kes (EL4136) dan Modul Pendakwaan Kes (EL4146) dan diadakan secara bersemuka di Dewan Kuliah Unit Mikroskopi Elektron, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), UKM dan kerja lapangan bagi fotografi forensik dilaksanakan di Kafeteria Kolej Dato\u2019 Onn (KDO), UKM.\nSebanyak 15 orang pelatih ILKKM yang menjalani kursus lanjutan tersebut selama setahun adalah terdiri daripada jawatan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) yang berpengalaman melebihi tiga tahun dan telah ditempatkan di pelbagai unit kesihatan awam di Jabatan Kesihatan Negeri serta Pejabat Kesihatan daerah.\nDalam bengkel tersebut, para pelatih telah didedahkan dengan kepentingan rantaian keterangan sebagai pembuktian pengendalian barang kes dari mula bahan bukti diperoleh hinggalah dikemukakan di mahkamah yang diterangkan dengan jelas oleh Pensyarah Kanan, Pusat CODTIS, FSK, UKM, YBrs. Dr. Raja Muhammad Zuha Raja Kamal Bashah.\nSeterusnya, topik nilai kemanusiaan dalam penyelidikan dan penyiasatan di lapangan yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan, Pusat CODTIS, FSK, UKM, Encik Hukil Sino telah menerapkan kepentingan nilai integriti dalam melaksanakan penyiasatan di lapangan dan pematuhan prosedur operasi piawai untuk memastikan integriti bahan bukti yang diambil terjamin.\nPada masa yang sama, para pelatih menganalisis data penyelidikan mereka menggunakan perisian R Studio dengan bantuan dan tunjuk ajar oleh Pensyarah Kanan, Pusat CODTIS, FSK, UKM, YBrs. Dr. Lee Loong Chuen.\nTopik mikrobiologi makanan yang disampaikan oleh Dr. Hing Hiang Lian daripada First City University College membincangkan perkara yang berkaitan dengan mikrobiologi pada makanan yang menjadi penyebab keracunan makanan dan penyakit bawaan makanan serta jenis bakteria pada makanan yang boleh menyebabkan keracunan makanan kepada manusia.\nSusulan itu, beberapa ujian melalui latihan amali menggunakan susu segar dan susu pasteur dijalankan bagi memastikan susu kekal segar dan tidak tercemar sekali gus para pelatih turut diajar cara untuk mengira bilangan koloni bakteria pada plat agar.\n\u00a0\nSementara itu, topik tentang penyiasatan fotografi forensik yang dikongsikan oleh Penolong Pegawai Sains, Pusat CODTIS, FSK, UKM, Encik Muhamad Hilmi Baba mendedahkan teknik asas fotografi ketika mengambil gambar di tempat kejadian kepada para pelatih.\nTopik tersebut dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu teori dan praktikal, yakni peserta didedahkan dengan prinsip dan konsep asas fotografi forensik yang merangkumi peranan jurugambar, diari siasatan pegawai penyiasat, fotografi dalam perspektif undang-undang dan kesilapan biasa yang dilakukan semasa mengambil gambar di tempat kejadian.\nDari aspek praktikal pula, peserta diberikan latihan dengan simulasi tempat kejadian yang berkaitan dengannya bagi membolehkan pelatih melakukan penyiasatan, persampelan dan pembungkusan bahan bukti, dokumentasi dan pelaporan bergambar sebelum memberikan keterangan di mahkamah.\nAktiviti kerja lapangan fotografi forensik yang dijalankan merangkumi aktiviti di bawah Akta Makanan 1983-Persampelan Makanan: Mikrobiologi, Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.\nPada akhir bengkel berkenaan, para pelatih melakukan pembentangan hasil kerja lapangan yang dijalankan untuk dinilai dari segi pemahaman dan persembahan bukti bergambar yang menepati kriteria fotografi forensik secara berkumpulan.\nBengkel berkenaan memberikan banyak manfaat dan pengetahuan baharu kepada pelatih berkaitan dengan prosedur pematuhan operasi piawai dari sudut pandangan forensik bagi menambah baik gerak kerja sedia ada dalam memperkasakan penyiasatan di lapangan semasa operasi penguatkuasaan dijalankan." "Tahnik Mempengaruhi Mikrobiota Awal Usus Bayi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSelain susu ibu, amalan tahnik juga boleh mempengaruhi kepelbagaian mikrobiota awal usus bayi. Tahnik merupakan perbuatan menggosokkan makanan manis seperti kurma yang dikunyah ke lelangit mulut bayi supaya sebahagian daripada kurma tersebut akan ditelan dan sampai ke usus bayi.\nTahnik boleh dilakukan kepada bayi yang baru lahir ataupun sebelum hari ketujuh usianya. Selain kurma, makanan manis seperti madu juga boleh digunakan untuk mentahnikkan bayi.\nAmalan tahnik ini telah dipraktikkan sejak zaman Rasullullah SAW lagi. Bayi yang baru sahaja lahir akan dibawa kepada Rasullulah SAW untuk ditahnikkan. Kini, amalan tahnik masih lagi diamalkan dengan membawa bayi yang baru lahir kepada orang soleh atau dilakukan oleh ibu bapa bayi tersebut.\nMikrobiota awal usus bayi kebanyakannya berasal daripada mikrobiota ibu semasa dilahirkan. Kaedah kelahiran, sama ada secara pembedahan Caesarean atau melalui faraj merupakan satu daripada faktor yang mempengaruhi kepelbagaian mikrobiota bayi. Bayi yang dilahirkan secara pembedahan mempunyai diversiti mikrobiota yang berbeza-beza berikutan pemindahan mikrobiota daripada bahagian perut ataupun kulit ibu kepada bayi.\nBerdasarkan penyelidikan para saintis, bayi yang lahir melalui faraj kebiasaannya akan didominasi oleh Bifidobacterium, Lactobacillus, Prevotella, Bacteroides, Parabacteroides, Sneathia dan Escherichia. Bayi yang lahir melalui pembedahan Caesarean pula akan didominasi oleh mikrobiota daripada kulit dan mulut ibu seperti Enterococcus, Streptococcus, Klebsiella, Clostridium, Staphylococcus, Corynebacterium dan Propionibacterium.\nDi samping itu, patogen oportunis yang berada di persekitaran hospital seperti Klebsiella, Enterobacter dan Enterococcus juga telah dilaporkan sebagai satu daripada kumpulan mikrobiota awal yang mendiami usus bayi yang lahir melalui proses pembedahan Caesarean.\nPemberian kurma melalui tahnik telah dilaporkan oleh para saintis sebagai satu daripada amalan yang dapat menguatkan sistem imun bayi. Mulut manusia merupakan bahagian kedua yang terbesar selepas usus yang menempatkan pelbagai jenis bakteria.\nLaporan daripada penyelidik China telah melaporkan lebih daripada 700 jenis bakteria yang mendominasi mulut manusia dan kebanyakannya ialah Bacteroidetes, manakala Streptococcus, Gemella, Haemophilus, Neisseria, Porphyromonas, Prevotella dan Veillonella sebagai genus yang lazim ditemukan. Bakteria ini menjadi komensal apabila berada di dalam badan perumah, namun diversiti bakteria ini boleh berubah dan bertambah apabila persekitaran perumah mendatangkan faedah kepada bakteria.\nTahnik dapat mengubah diversiti asal mikrobiota yang berada di dalam usus bayi berikutan pemindahan mikrobiota daripada mulut seorang individu dewasa kepada mulut dan usus bayi yang baru lahir. Bakteria yang berbeza daripada amalan tahnik akan berpindah ke bahagian perut bayi, kemudiannya merangsang sistem imun berikutan kehadiran mikroflora mulut yang dikenal pasti sebagai patogen.\nAntibodi akan dihasilkan oleh limfosit bagi melawan patogen ini sehinggalah sel memori diaktifkan. Sel memori ini membolehkan sistem imun bayi diperkuat supaya dapat bertindak balas sejurus selepas patogen yang sama dikenal pasti menyerang tubuh. Oleh itu, dapat dibuktikan bahawa amalan tahnik ini dapat mempengaruhi mikrobiota awal bayi di samping menguatkan sistem imun melalui pengenalan mikroflora oral.\nWalaupun makanan manis lain juga boleh diamalkan, buah kurma antara yang digalakkan berikutan potensi buah ini sebagai makanan prebiotik. Kurma mengandungi sumber serat dan polifenol yang tinggi lalu menjadikannya sebagai sumber yang baik bagi menggalakkan pertumbuhan dan aktiviti bakteria usus.\nPrebiotik merujuk karbohidrat yang tidak boleh dihadamkan oleh badan serta bertindak sebagai sumber makanan bagi bakteria yang mendominasi usus dan menggalakkan pertumbuhan bakteria tersebut dalam saluran pencernaan manusia.\nDi samping itu, prebiotik dapat menukarkan komposisi mikrobiota di dalam usus. Proses ini berlaku apabila sumber karbohidrat melepasi metabolisme di bahagian saluran gastrousus atas dan mendekati usus besar, iaitu tempat berlakunya perubahan diversiti mikrobiota berlaku dan sekali gus menyumbang kepada kesan positif kesihatan usus.\nNamun begitu, sistem pencernaan bayi yang baru dilahirkan masih belum terbentuk sepenuhnya dan menyukarkan mereka untuk menghadamkan makanan yang kaya dengan serat seperti kurma. Tambahan pula, menurut jurnal yang diterbitkan oleh penyelidik Indonesia, bayi yang baru lahir hanya memerlukan kurang daripada 20 miligram (mg) per 100 mililiter (ml) hingga 30 mg/100 ml glukosa dalam darah berikutan badan bayi yang mudah terdedah kepada penyakit.\nOleh itu, tahnik dapat membantu menukarkan kandungan di dalam kurma menjadikannya lebih mudah untuk dicernakan dan diserap oleh badan bayi. Proses mengunyah kurma dengan bantuan enzim air liur, iaitu amilase akan dapat membantu menguraikan polisakarida dalam bentuk kanji dan selulosa kepada maltosa. Maltosa merupakan gula ringkas yang mudah dihadamkan oleh badan bayi. Menurut penyelidik lagi, tahnik mampu menukarkan kandungan glukosa hanya kepada lima peratus dan kandungannya yang rendah sesuai diserap oleh bayi yang baru lahir tanpa memberikan kesan negatif kepada kesihatan.\nBerdasarkan laporan para penyelidik di United Kingdom, serat dan polifenol daripada kurma dapat menggalakkan pertumbuhan bakteria probiotik di samping merangsang aktiviti bakteria usus seperti Bifidobacterium dan Lactobacilli. Di samping itu, ekstrak polifenol juga dapat menghalang atau membantutkan pertumbuhan patogen seperti Escherichia coli, Clostridium perfringes dan Helocobacter pylori.\nBerdasarkan kajian ini, dapat dibuktikan bahawa tahnik dapat membantu mengubah mikrobiota usus bayi, terutamanya yang lahir melalui pembedahan Caesarean yang pada kebiasaannya berlakunya ketidakseimbangan mikrobiota usus, terutamanya Bacteroides, Bifidobacteria dan Lactobacillus.\nOleh itu, tradisi mentahnik bayi adalah digalakkan untuk terus diamalkan oleh masyarakat moden berikutan pelbagai manfaat yang dapat membantu tumbesaran bayi seperti menguatkan mulut bayi untuk memudahkan proses penyusuan, menguatkan sistem imun dan menggalakkan pertumbuhan dan aktiviti bakteria baik di dalam usus bayi." "Kekuatan Sosioekonomi dan Politik Penentu Kukuhnya Kedudukan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kukuh atau tidaknya kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terletak pada kekuatan politik para pemimpin Melayu. Menurut YBhg. Tun Abdul Hamid Mohamad, iaitu mantan Ketua Hakim Negara, parti-parti politik Melayu perlulah bergabung supaya dapat membentuk sebuah kerajaan pro-Bahasa Melayu yang kukuh.\nKatanya lagi, pengukuhan kedudukan bahasa Melayu melalui undang-undang hanya boleh dilakukan dalam negara dan dalam lingkungan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Apa-apa yang dibuat terletak pada kekuatan politik kerajaan pro-Bahasa Melayu dan kemahuan politik para pemimpinnya. Penggunaan bahasa Melayu di mahkamah di Sabah dan Sarawak juga perlu dilebihkan. Selain itu, tambahnya lagi, pengukuhan penggunaan bahasa Melayu janganlah sampai melemahkan penguasaan bahasa Inggeris graduan Melayu. Manakala pada peringkat antarabangsa pula, para menteri termasuklah Perdana Menteri, para hakim dan pegawai tinggi serta ahli akademik hendaklah boleh berucap dalam bahasa Inggeris dengan baik sehingga mereka dikagumi.\nTerdapat terlalu banyak halangan untuk kita mengantarabangsakan bahasa Melayu. Maka itu, eloklah kita menumpukan pada pengukuhannya dalam negara tetapi jika ada idea-idea yang baik bolehlah dilaksanakan.\nMenurut YBhg. Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab Aziz dari universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dengan judul kertas kerjanya \u201cBahasa Melayu dan Pengukuhan melalui Undang-undang\u201d, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara diiktiraf sebagai bahasa utama dalam bidang pendidikan seperti yang terdapat dalam Akta Pendidikan. Bagi tujuan yang berkaitan bahasa Melayu dan pengukuhannya melalui undang-undang dapat dirujuk melalui beberapa undang-undang yang berkaitan dengan bahasa Melayu seperti Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Katanya lagi, banyak undang-undang perlu ditambah baik untuk memastikan kedudukan bahasa Melayu diperteguhkan di Malaysia.\nKedudukan bahasa Melayu belum mencapai tahap yang baik kerana ada akta yang masih membenarkan penggunaan bahasa lain selain daripada bahasa Melayu dalam urusan negara.\nTambah YBhg. Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain dari Universiti Malaysia Pahang pula dengan judul kertas kerjanya \u201cBahasa Melayu dan Pengukuhan melalui Undang-undang\u201d, bahasa bukan sahaja berfungsi sebagai alat komunikasi bahkan berbentuk pendidikan dan undang-undang yang mengawal tadbir urus dengan baik dalam masyarakat tempatan. Maka itu, secara tidak langsung masyarakat akan menghormati undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh institusi pemerintah melalui bahasa yang mereka fahami.\nSikap optimis masyarakat dapat memastikan bahasa Melayu pergi lebih jauh ke hadapan. Penggubalan undang-undang perlu dilaksanakan untuk mencapai maksud yang dicadangkan pada peringkat pindaan akta-akta sedia ada atau secara alternatifnya menggubal suatu akta baharu buat Dewan Bahasa dan Pustaka untuk meningkatkan tarafnya sebagai pihak berkuasa bahasa.\nSementara itu, menurut YBrs. Prof. Dr. Haji Awang Asbol Haji Mail dari Universiti Brunei Darussalam, Brunei, dengan kertas kerjanya yang berjudul \u201cDasar-dasar Pendidikan dan Perlembagaan Negara Brunei Darussalam: Isu Pengukuhan Bahasa Melayu\u201d, pada lazimnya dasar pendidikan perlu seiring dengan arus perubahan sosioekonomi yang berlaku dalam negara dan juga perubahan yang berlaku di luar negara.\nTambahnya lagi,\u00a0 Brunei memiliki dasar pendidikan secara rasmi pada tahun 1954. Beliau mencadangkan agar dalam usaha memartabatkan bahasa \u00a0Melayu sebagai bahasa rasmi di Brunei ialah mata pelajaran Sejarah yang berkaitan dengan sejarah Brunei dan sejarah bangsa Melayu mestilah diajar dalam bahasa Melayu agar semangat cinta akan agama, raja dan bangsa dapat ditanam dan disemai dengan baik kepada belia-belia Brunei. Selain itu, penubuhan institusi terjemahan seharusnya dikukuhkan lagi. Seminar-seminar antarabangsa juga bukan hanya menggunakan bahasa asing tetapi juga bahasa Melayu.\nDemikianlah antara penerangan menarik daripada peserta Sidang 3: Bahasa Melayu dan Pengukuhan melalui Undang-undang, dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang telah berlangsung pada pukul 2.00 petang tadi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP. Moderator Sidang 3 ialah YBrs. Prof. Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof dari Universiti Teknologi Malaysia." "Sembilan Kes Kematian Akibat Rabies Dilaporkan di Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya\u00a0\u2013 Hingga 15 Mei 2023, sebanyak 11 kes rabies termasuklah sembilan kes kematian telah dilaporkan di Sarawak sekali gus menjadikan jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak adalah sebanyak 66 kes dengan 59 kematian sejak wabak tersebut diisytiharkan pada Julai 2017.\nDaripada 11 kes yang dilaporkan pada tahun ini, empat kes masing-masing daripada Sibu dan Serian, dua kes daripada Kuching dan satu kes daripada Bintulu yang melibatkan mangsa berusia dalam lingkungan enam tahun hingga 63 tahun.\n\u201cRabies ialah penyakit sistem saraf yang disebabkan oleh jangkitan virus rabies yang terdapat di dalam air Iiur haiwan yang dijangkiti dan boleh menjangkiti manusia melalui gigitan atau semasa kontak langsung dengan air Iiur haiwan yang dijangkiti, sama ada melalui Iuka ataupun lapisan mukosa badan, termasuklah kesan cakar oleh kucing peliharaan atau kucing liar yang boleh menyebabkan kematian sekiranya jangkitan tersebut merebak ke bahagian otak,\u201d kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan.\nBerdasarkan kenyataan tersebut juga, sebanyak lapan kes yang dilaporkan pada tahun ini mempunyai sejarah digigit oleh anjing, dua kes lain disebabkan oleh gigitan atau cakaran kucing, manakala satu kes lagi tidak diketahui oleh ahli keluarga sama ada mempunyai sejarah digigit atau dicakar oleh haiwan.\nBerikutan masih terdapat haiwan yang positif rabies di Sarawak, orang awam dinasihatkan agar sentiasa mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan diri daripada dijangkiti virus tersebut.\nIndividu yang digigit, dicakar atau terkena air liur haiwan haruslah mencuci luka dengan segera menggunakan air yang mengalir dan sabun sekurang-kurangnya selama 15 minit dan mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital terdekat.\nSelain itu, orang awam juga perlu memastikan menerima vaksin antirabies yang lengkap mengikut janji temu yang diberikan oleh pengamal perubatan serta tidak mengendalikan sebarang haiwan liar, termasuklah anjing dan kucing liar sama ada yang masih hidup ataupun yang telah mati.\nDi Sarawak, sebanyak 31 buah fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyediakan perkhidmatan rawatan gigitan haiwan termasuklah pemberian vaksin antirabies, manakala sembilan buah hospital turut memberikan perkhidmatan suntikan imunoglobulin rabies (RIG) kepada kes yang berisiko tinggi.\nRakyat Malaysia diminta agar sentiasa mematuhi semua nasihat dan arahan yang dikeluarkan oleh KKM, pihak berkuasa dan agensi berkaitan bagi membantu KKM dan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dalam usaha mencapai status Sarawak dan Malaysia bebas rabies menjelang tahun 2030.\nKredit gambar: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia." "Meneroka Pengetahuan dan Kompetensi Pelajar dalam Kajian Mikroplastik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKursus Pengenalan kepada Kejuruteraan atau Introduction to Engineering (ITE) merupakan kursus teras yang wajib diambil oleh semua pelajar jurusan kejuruteraan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Kursus ini ditawarkan pada semester satu daripada sejumlah lapan semester yang perlu dilalui bagi menamatkan pengajian dalam Sarjana Muda Kejuruteraan.\nPelajar jurusan Kejuruteraan Kimia juga tidak terkecuali dalam hal ini. Namun begitu, yang uniknya ialah ITE diintegrasikan bersama-sama dua kursus yang lain, iaitu Seminar Industri dan Profesion (ISP) serta Pengenalan kepada Pengaturcaraan Komputer (ICP).\nSelain pengetahuan asas tentang kejuruteraan seperti skop dan cabang profesion, etika kejuruteraan serta pengiraan kejuruteraan, pelajar kejuruteraan kimia juga diberikan projek berkaitan isu kelestarian. Setiap tahun, topik yang berbeza diberikan seperti isu penggunaan air, tenaga elektrik, sisa makanan dan karbon rendah.\nPada tahun ini, isu berkaitan sisa mikroplastik telah dipilih. Projek ini telah diformulasikan dengan sebaik-baiknya dan memerlukan pelajar untuk bekerja dalam pasukan. Setiap pasukan terdiri daripada tiga orang hingga lima orang dan bergantung pada jumlah pelajar di setiap kelas.\nProjek tersebut dibahagikan kepada tiga peringkat. Pada peringkat pertama, pelajar perlu membuat kajian literatur yang komprehensif berkaitan mikroplastik. Hal ini termasuklah definisi, penghasilan, pengaplikasian mikroplastik dalam kehidupan seharian, kadar penggunaan plastik serta penjanaan sisa di Malaysia di samping penandaarasan dengan dua buah negara lain (yang boleh dipilih oleh pelajar sendiri dengan justifikasi yang wajar).\nUntuk menjalankan tugasan ini, pelajar perlu mengaplikasikan kemahiran kebolehan belajar secara kendiri bagi mengumpulkan maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai seperti artikel daripada jurnal, surat khabar serta buku dengan membaca dan memahami bahan maklumat yang dikumpulkan sebelum menganalisis data bagi tujuan pelaporan projek.\nPada peringkat kedua, pelajar perlu membuat pengumpulan data yang sebenar bagi jumlah sisa plastik yang dihasilkan oleh keluarga, diri sendiri dan rakan sekuliah. Bagi pengumpulan data yang melibatkan keluarga, pelajar berpeluang mengumpulkan data tersebut ketika cuti pertengahan semester semasa mereka pulang ke rumah masing-masing.\nBagi pengumpulan data untuk diri sendiri pula, proses pengumpulan data adalah jauh lebih mudah kerana hanya dilakukan di asrama. Pelajar perlu mengumpulkan sisa plastik yang dihasilkan sepanjang hari, kemudian mengasingkannya mengikut jenis plastik dan menimbang berat setiap kategori plastik tersebut. Proses ini dilaksanakan selama satu minggu.\nPada peringkat ketiga, berdasarkan penemuan data yang telah dianalisis semasa peringkat kedua (jenis plastik yang menyumbang kepada jumlah sisa yang paling banyak sepanjang satu minggu tersebut), setiap pasukan perlu menjana tiga alternatif penyelesaian yang berupaya menghapuskan, mengurangkan atau menguruskan sisa plastik tersebut dengan efektif.\nPenyelesaian tersebut perlulah mengaplikasikan prinsip kejuruteraan, selain mengambil kira indikator kelestarian yang lain seperti mesra alam sekitar, kebolehlaksanaan dari aspek teknologi serta kos yang berpatutan. Kemudian, pelajar perlu memilih penyelesaian yang terbaik daripada tiga alternatif yang disenarai pendekkan. Pemilihan tersebut dibuat secara objektif pelbagai kriteria (multicriteria objectives)\u00c2\u00a0menggunakan pengaturcaraan Matlab.\nBahagian Matlab ini diseliakan oleh pensyarah kursus ICP. Pensyarah ISP pula bertanggungjawab menganjurkan pelbagai siri seminar dan bengkel yang berkaitan dengan projek mereka seperti seminar tentang mikroplastik oleh pakar daripada Universiti Malaysia Terengganu, bengkel analisis data menggunakan Microsoft Excel serta proses penyelesaian masalah yang berstruktur.\nKemuncak bagi projek ini adalah apabila pelajar perlu membentangkan hasil penyelesaian mereka dalam bentuk pertandingan dan pameran. Sebanyak 161 orang pelajar Tahun 1 daripada lima seksyen yang membentuk 40 pasukan terlibat dalam pameran ini yang dilaksanakan pada Januari 2023 di Dewan Bankuet UTM.\n\u00a0\n\u00a0\nSetiap pasukan dinilai oleh tiga orang juri, iaitu seorang dari Jabatan Kejuruteraan Kimia, seorang dari jabatan atau pusat lain di UTM yang berkaitan dengan kelestarian dan seorang lagi dari industri. Bagi tujuan penilaian, pelajar perlu menyediakan poster (bagi ruang bersaiz A0), selain amat digalakkan untuk menghasilkan prototaip bagi demonstrasi penyelesaian yang lebih berkesan.\nSetelah sesi pembentangan, pelajar diuji oleh juri dengan pelbagai soalan mencabar yang berkaitan dengan penyelesaian yang dicadangkan. Hal ini juga bagi mendedahkan pelajar dengan pengalaman menjawab soalan teknikal serta mempertahankan cadangan penyelesaian mereka dengan ciri kekuatan yang ada.\nProgram ini juga telah menerima sumbangan kewangan dairpada pihak jabatan sendiri selain Pejabat Pelestarian Kampus UTM (UTM Campus Sustainability). Para pemenang menerima hadiah wang tunai, hamper, buku serta sijil.\nPada akhir program, kami telah menerima pelawaan daripada pihak UTM Campus Sustainability untuk berkolaborasi bagi menjayakan projek tahun hadapan. Tajuk yang dicadangkan adalah berkisar keseimbangan nutrisi, termasuklah aspek sekuriti dan kelestarian sumber makanan.\nMaklum balas yang positif seperti inilah yang menjadi inspirasi untuk kami terus menambah baik projek pelajar berkaitan dengan isu kelestarian pada masa akan datang.\n\u00a0\nProfesor Madya Ir. Dr. Mimi Haryani Hassim, UTM-MPRC Institute for Oil and Gas, Universiti Teknologi Malaysia." "Wawasan Sektor Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia Dibentangkan di Rusia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Mohamad Sabu mengetuai delegasi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam lawatan kerja ke Rusia bermula pada 15 Mei 2023 hingga 23 Mei 2023 bagi memberikan gambaran dan menyatakan wawasan sektor pertanian dan keterjaminan makanan Malaysia menerusi KazanForum.\nKazanForum ialah acara antarabangsa yang dianjurkan oleh Kerajaan Rusia melalui Kerajaan Republik Tatarstan sejak tahun 2009 sebagai platform untuk memperkukuh kerjasama antara Rusia dengan negara Islam.\nPada tahun 2022, Presiden Rusia telah menaik taraf KazanForum sebagai acara tahunan utama peringkat antarabangsa yang dianjurkan oleh Rusia dengan melibatkan anggota negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).\nEkspo Halal Rusia adalah antara program utama di bawah KazanForum 2023 yang melibatkan pameran dan promosi produk makanan halal di Rusia sekali gus membolehkan Malaysia meneroka potensi dan peluang bagi mempromosikan buah-buahan tropika yang sedia dieksport serta memperkenalkan produk makanan halal bukan sahaja kepada Rusia, malah kepada negara OIC yang turut menyertai KazanForum 2023 tersebut.\nSelain menyampaikan ucapan pada sesi meja bulat Malaysia dan Rusia bagi membincangkan wawasan sektor pertanian di Malaysia, YB Datuk Seri Mohamad Sabu juga akan menyampaikan ucaptama pada sesi forum tersebut dengan tema, Teras Ekonomi: Kerjasama antara Rusia dengan Negara OIC.\nBeliau juga telah dijadualkan untuk mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat beliau, iaitu Menteri Pertanian Rusia di Moscow, TYT Dmitry N. Patrushev dan mesyuarat dua hala bersama-sama Menteri Pertanian dan Makanan Republik Tatarstan di Kazan, TYT Marat Zyabbarov bagi membincangkan kerjasama pertanian antara Malaysia dengan Rusia, terutamanya bagi akses pasaran produk pertanian Malaysia ke Rusia.\nTurut hadir dalam sesI lawatan kerja tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM, pegawai kanan KPKM dan pegawai kanan Jabatan Perkhidmatan Veterinar." "Fenomena Cuaca Panas yang Meresahkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nFenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini sehinggakan terdapat kawasan yang merekodkan suhu maksimum harian setinggi 37 darjah Celcius seperti yang melanda kebanyakan negeri di wilayah utara dan pedalaman wilayah timur Semenanjung Malaysia semakin mendatangkan ketidakselesaan dan menyebabkan kemudaratan kesihatan kepada masyarakat.\nPemanasan permukaan bumi akibat sinaran matahari yang terik dan taburan hujan yang kurang akibat tempias gelombang haba yang melanda kawasan Asia Tengah telah memberikan risiko dehidrasi, kekejangan otot, kelesuan haba dan strok haba kepada rakyat Malaysia. Situasi ini terus menjadi isu yang hangat diperbincangkan pada masa ini yang turut menyebabkan amaran daripada saintis bahawa tahun 2023 boleh mencatatkan rekod haba baharu di seluruh dunia.\nMenurut Pakar Klimatologi dan Felo Akademi Sains Malaysia (ASM), Dr. Fredolin Tajudin Tangang yang menjelaskan situasi ini dalam laporan yang dikeluarkan oleh Berita Harian baru-baru ini, keadaan ini berlaku akibat rantau benua maritim yang merangkumi Malaysia dan Indonesia didominasi dengan keadaan tekanan tinggi atmosfera berskala besar yang boleh dicirikan dengan keadaan perolakan terhalang dan ketiadaan banyak litupan awan.\nKekurangan litupan awan meningkatkan pancaran matahari ke permukaan bumi, sekali gus meningkatkan suhu. Kekurangan taburan hujan juga mengurangkan kesan penyejukan daripada penyejatan, selain angin yang lemah dan arah yang tidak menentu semasa musim peralihan monsun turut menyebabkan angkutan haba ke kawasan lain kurang dominan dan menjadikan keadaan panas berlanjutan.\nWalau bagaimanapun, menurut ramalan Pusat Ramalan Iklim di Amerika Syarikat, pusat tekanan tinggi yang mencirikan perolakan terhalang ini sedang bergerak ke timur dalam beberapa hari lagi dan digantikan dengan pusat tekanan rendah yang akan menggalakkan perolakan meningkat. Keadaan ini berpotensi meningkatkan taburan hujan dan ribut petir.\nSementara itu, dijangkakan keadaan cuaca apabila memasuki Jun akan menjadi lebih kering dan panas disebabkan oleh kehadiran monsun barat daya. Lebih membimbangkan, El Nino kuat diramalkan berlaku.\nPusat ramalan iklim APEC Climate Center di Busan, Korea Selatan meramalkan kebarangkalian El Nino akan berlaku bermula Jun adalah melebihi 90 peratus. Seperti fenomena El Nino yang dialami sebelum ini, keadaan di Malaysia dan Indonesia akan menjadi lebih kering dan panas bermula Jun hingga Oktober. Di utara Semenanjung, Sarawak dan Sabah juga biasanya akan didominasi keadaan kering dan panas di penghujung fenomena El Nino, iaitu pada Januari hingga April 2024.\nBerdasarkan rekod setakat tahun 2015, El Nino pernah melanda negara sebanyak 12 kali dan kejadian yang paling teruk ialah pada tahun 1997 hingga tahun 1998 apabila catatan suhu tertinggi, iaitu 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998. Oleh hal yang demikian, El Nino bukan lagi asing bagi masyarakat negara ini.\nEl Nino berasal daripada perkataan bahasa Sepanyol yang bermaksud anak lelaki dan istilah berkenaan digunakan buat pertama kali oleh nelayan di Peru sekitar tahun 1800. Secara mudahnya, El Nino membabitkan perubahan tekanan atmosfera dan suhu lautan, terutamanya di Lautan Pasifik.\nKetika El Nino berlaku, suhu permukaan laut meningkat di bahagian timur Lautan Pasifik, iaitu di perairan Columbia, Ecuador dan Peru yang disebabkan oleh kemasukan arus panas dari bahagian tengah dan barat Lautan Pasifik. Keadaan tersebut akan menyebabkan tiada perbezaan suhu air laut ketara antara timur dengan barat Khatulistiwa di Lautan Pasifik.\nFenomena ini jelas dilihat antara Disember hingga Februari, iaitu ketika musim sejuk di Hemisfera Utara. El Nino akan membawa jumlah hujan yang sangat tinggi di kawasan tertentu seperti di benua Amerika, Asia Timur dan Asia Selatan yang lazimnya akan menyebabkan banjir.\nSementara itu, kawasan seperti selatan benua Afrika, utara Australia, Indonesia dan Malaysia akan mengalami kemarau disebabkan cuaca panas dan kering yang melampau. Cuaca kering dan panas berpanjangan biasanya disusuli dengan \u00c2\u00a0kebakaran hutan di kawasan tanah gambut yang sukar dipadamkan dan menyebabkan jerebu. Kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan juga berpotensi menyebabkan jerebu rentas sempadan sekiranya El Nino berlaku seperti diramalkan pada Jun ini.\nKetika El Nino melanda negara pada tahun 1997 hingga tahun 1998, cuaca yang kering dan panas melampau telah menyebabkan hampir 10 juta hektar hutan di Sumatera dan Kalimantan terbakar. Jerebu rentas sempadan ketika itu yang turut dianggap terburuk pernah berlaku dalam sejarah negara dan telah menyebabkan hampir seluruh negara seolah-olah diselubungi asap.\nBacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sesetengah kawasan pernah mencapai paras sangat berbahaya sehinggakan negara diisytihar darurat. Dalam tempoh antara Ogos hingga Oktober 1997, jerebu menyebabkan kerugian sebanyak RM802 juta kepada Malaysia. Jerebu yang menyebabkan pencemaran udara ini juga boleh mengundang penyakit berkaitan dengan pernafasan seperti asma, radang paru-paru, sakit tekak, sakit mata, batuk dan selesema.\nSelain itu, keadaan cuaca yang lebih panas dan kering ketika El Nino menyebabkan vektor nyamuk dapat hidup dan matang dengan lebih cepat serta memendekkan tempoh pengeraman virus. Hal ini turut menjadikan nyamuk lebih aktif dan meningkatkan frekuensinya untuk menggigit mangsa selain penyebaran virus denggi menjadi lebih luas. Keadaan ini dikatakan menyumbang kepada peningkatan kes demam denggi sebanyak 50 peratus.\nKemarau akibat El Nino pula memaksa masyarakat menakung air bagi menampung bekalan air harian, sekali gus meningkatkan lagi tempat pembiakan nyamuk aedes. Selain denggi, penyakit lain seperti taun, untut dan malaria boleh merebak disebabkan oleh peningkatan suhu.\nMusim panas dan kering turut menyebabkan penyusutan air ketara di kawasan tadahan air seperti empangan, tasik dan kolam akibat kadar sejatan yang tinggi dan tiada hujan. Pengalaman ketika El Nino melanda pada tahun 1997 hingga tahun 1998 cukup memeritkan, terutamanya bagi penduduk di Lembah Klang apabila kira-kira 1.8 juta orang terpaksa berdepan dengan catuan air selama enam bulan.\nPada tahun 1998, sebanyak 4.2 juta pengguna di Lembah Klang terpaksa berkongsi sejumlah 2553 juta liter sehari. Apabila El Nino melanda, kegiatan harian manusia terjejas teruk dan hal ini secara tidak langsung turut memberikan kesan terhadap ekonomi.\nPada masa tersebut juga, negara di Asia Tenggara dilaporkan mengalami kerugian melebihi RM34 bilion. Dari segi pertanian, kemarau yang melanda akibat El Nino turut menjejaskan pengeluaran padi, buah-buahan serta sayur-sayuran yang banyak bergantung pada air.\nBukan itu sahaja, industri kelapa sawit di rantau ini yang juga sebagai pengeluar terbesar di dunia boleh terjejas hingga 15 peratus pengeluarannya sekiranya berlaku El Nino berpanjangan. El Nino turut berpotensi menjejaskan ekosistem marin dengan memusnahkan plankton selaku makanan utama kepada hidupan laut, sekali gus menjejaskan industri perikanan dan sumber protein utama negara.\nOleh hal yang demikian, pihak berkuasa dan orang ramai disarankan melakukan persediaan awal bagi menghadapi fenomena tersebut dan mengambil langkah sewajarnya untuk meminimumkan impak El Nino kali ini. Orang ramai perlu bersedia dari sudut mental dan fizikal bagi menghadapi sebarang kemungkinan seperti krisis air yang menyebabkan langkah seperti catuan air di sesetengah kawasan mungkin terpaksa dilakukan.\nSebagai kesimpulannya, masyarakat tidak boleh mengambil ringan tentang risiko cuaca panas. Strok haba hingga mengakibatkan kematian jarang-jarang berlaku di Malaysia, namun dalam keadaan cuaca panas, masyarakat perlu lebih berhati-hati, terutamanya golongan berisiko.\nBagi individu yang tidak biasa dengan cuaca panas, mereka berisiko lebih tinggi untuk terkesan dengan perubahan cuaca kerana badan akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan suhu yang mendadak.\nMenurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), antara tahun 1998 hingga tahun 2017, sebanyak 166 ribu orang dilaporkan meninggal dunia akibat suhu ekstrem, termasuklah lebih 70 ribu orang meninggal dunia ketika gelombang panas di Eropah.\nDi Malaysia pula, hingga 13 Mei 2023, Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan sebanyak 14 kes berkaitan dengan cuaca panas pada tahun ini." "Memahami Keperluan Pengambilan Minuman Elektrolit\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAir membentuk sebahagian besar daripada berat badan. Selain kehilangan air melalui air kencing, peluh dan najis, badan manusia sentiasa kehilangan air melalui kulit dan udara yang dihembus.\nAir penting untuk mengawal suhu badan, menyokong pergerakan otot dan mengekalkan jumlah darah. Oleh sebab itu, keupayaan untuk melaksanakan semua fungsi ini semasa melakukan senaman bergantung pada pengambilan cecair yang mencukupi.\nSenaman yang berpanjangan dengan intensiti yang tinggi akan mengakibatkan kehilangan cecair yang lebih tinggi melalui peluh. Oleh sebab itu, seseorang yang bersenam mesti memastikan bahawa mereka menghidrat semula badan melalui pengambilan air.\nJika badan tidak dihidratkan semula, badan akan mengalami tahap penyahhidratan yang teruk hingga mampu menyebabkan kelemahan atau kekeliruan. Dalam kes yang serius, keadaan tersebut boleh mengakibatkan masalah buah pinggang, kerosakan otak dan kematian.\nSatu daripada ujian penghidratan yang paling biasa untuk melihat sama ada seseorang itu mengalami penyahhidratan atau tidak adalah dengan memeriksa warna air kencing. Jika air kencing berwarna kuning cerah, maka tahap penghidratan adalah normal. Walau bagaimanapun, jika warnanya lebih gelap, hal ini bermakna bahawa badan kita memerlukan lebih banyak cecair.\nMinuman Elektrolit\nJika anda pernah menonton rancangan sukan, anda mungkin pernah melihat atlet menghirup minuman berwarna terang sebelum, semasa atau selepas pertandingan. Minuman itulah yang dipanggil minuman sukan (sports drink) atau lebih dikenali sebagai minuman elektrolit.\nHal ini adalah serupa sekiranya anda mengalami gejala penyahhidratan. Anda disarankan untuk meminum air elekrolit. Namun begitu, adakah minuman elektrolit merupakan pilihan yang tepat untuk kita?\nBahan Utama Minuman Elektrolit\nAir ialah bahan utama di dalam minuman elektrolit selain mengandungi bahan seperti karbohidrat dan elektrolit seperti natrium, kalium, magnesium dan kalsium. Karbohidrat di dalam minuman ini selalunya dalam bentuk gula seperti glukosa, sukrosa dan fruktosa. Pada kebiasaannya, minuman elektrolit mengandungi sebanyak enam peratus hingga lapan peratus karbohidrat, larutan lain sebanyak enam peratus dan kira-kira 14 gram karbohidrat bagi setiap 240 mililiter cecair.\nWalau bagaimanapun, sesetengah minuman elektrolit mengandungi sumber karbohidrat yang rendah atau sifar karbohidrat untuk menarik minat mereka yang mahukan air dan elektrolit tanpa kalori tambahan.\nAntara jenama popular bagi minuman elektrolit termasuklah Gatorade, 100 Plus, Revive, Lucozade dan lain-lain. Secara umumnya, minuman elektrolit berfungsi membantu menambahkan air, elektrolit dan tenaga yang hilang semasa bersenam.\nMinuman elektrolit ini selalunya mengandungi sumber karbohidrat untuk meningkatkan bekalan tenaga di dalam badan. Selain itu, elektrolit yang terdapat di dalam minuman ini membantu mengembalikan kembali keseimbangan natrium, kalium, magnesium, dan kalsium. Glukosa pula dapat membekalkan tenaga tambahan yang boleh mengurangkan keletihan dan kelesuan semasa dan selepas bersenam.\nOleh hal yang demikian, minuman elektrolit kebiasaannya dipasarkan sebagai produk yang mampu meningkatkan prestasi sukan dengan mengembalikan semula tahap penghidratan badan, mengembalikan semula elektrolit yang hilang melalui peluh dan meningkatkan semula paras gula di dalam darah semasa dan selepas aktiviti fizikal.\nSumber Tenaga Utama\n\nMengapakah minuman elektrolit boleh membantu seseorang semasa bersenam? Sebelum kita memilih untuk minum minuman elektrolit, kita perlu memahami perkara yang berlaku semasa senaman.\nTerdapat dua sumber tenaga utama semasa bersenam, iaitu lemak dan glukosa. Glukosa juga dirujuk sebagai gula atau karbohidrat.\nJenis sumber tenaga yang digunakan dan jumlah tenaga yang diperlukan adalah bergantung pada tempoh dan intensiti senaman. Kebanyakan orang bersenam pada tahap ringan hingga sederhana. Pada tahap ini, sumber tenaga yang digunakan semasa senaman merupakan campuran antara lemak dengan glukosa.\nLemak ialah sumber tenaga yang membekalkan lebih daripada dua kali ganda jumlah kalori bagi setiap gram berbanding dengan glukosa, iaitu satu gram lemak bersamaan dengan sembilan kalori berbanding dengan satu gram glukosa bersamaan dengan empat kalori.\nPurata berat badan seseorang mengandungi antara 20 peratus hingga 40 peratus lemak. Oleh sebab itu, simpanan lemak untuk penghasilan tenaga boleh bertahan lama. Walau bagaimanapun, proses metabolisme lemak lebih perlahan berbanding dengan proses metabolisme glukosa yang lebih cepat.\nSemasa seseorang itu melakukan senaman yang berintensiti tinggi, glukosa menjadi sumber tenaga utama. Walau bagaimanapun, simpanan glukosa, terutamanya yang terdapat di hati dan otot adalah terhad.\nSimpanan glukosa seseorang mungkin habis selepas 90 minit hingga 120 minit bersenam. Oleh sebab itu, senaman yang berterusan akan menyebabkan badan kehabisan sumber glukosa untuk penghasilan tenaga dan perlu digantikan.\nKebaikan Minuman Elektrolit\n1. Menggantikan elektrolit\nKelebihan minuman elektrolit berbanding dengan air biasa ialah kandungan elektrolit itu sendiri. Apabila kita berpeluh, kita cenderung kehilangan elektrolit seperti natrium, kalium, fosfat, kalsium, magnesium dan klorin. Oleh hal yang demikian, apabila kita berpeluh dengan lebih banyak, paras elektrolit di dalam badan berkemungkinan besar akan menurun dan menjadi terlalu rendah.\nKeadaan ini berpotensi menyebabkan kekejangan otot, pening dan kekeliruan. Menggantikan cecair yang hilang dengan air kosong semata-mata biasanya tidak banyak membantu kerana air tidak mengandungi elektrolit. Oleh sebab itu, menggantikan elektrolit dengan minuman elektrolit merupakan pilihan yang terbaik.\n2. Menggantikan bendalir\nAntara kelebihan minuman elektrolit ialah dapat menggantikan cecair yang hilang. Sesetengah orang tidak suka minum air kosong semasa bersenam dan lebih cenderung memilih minuman berperisa seperti minuman elektrolit. Keperluan minuman elektrolit juga bergantung pada intensiti senaman dan jumlah seseorang itu berpeluh.\n3. Meningkatkan kandungan glukosa\nKandungan karbohidrat yang terdapat di dalam minuman elektrolit dapat meningkatkan jumlah glukosa di dalam darah, namun masih bergantung pada jenis, intensiti dan tempoh senaman. Secara umumnya, minuman elektrolit tidak disyorkan kepada mereka yang tidak melakukan aktiviti fizikal atau senaman kerana risiko penambahan berat badan dan diabetes.\n4. Mudah untuk dibawa\nMinuman elektrolit adalah lebih mudah untuk dibawa. Jika seseorang itu sedang mengikuti acara sukan, lebih mudah untuk membawa botol minuman elektrolit yang sedia untuk diminum semasa acara sukan berlangsung atau sejurus selepas acara sukan. Minuman elektrolit juga mudah didapati di kedai, stesen minyak atau secara dalam talian.\nMinuman Elektrolit dan Penghidratan\nApabila seseorang itu melakukan senaman dengan intensiti yang tinggi dalam tempoh lebih daripada sejam, keadaan tersebutlah yang boleh dipertimbangkan untuk mengambil minuman elektrolit, terutamanya jika senaman dilakukan di luar rumah pada hari yang panas dan lembap.\nSebagai contohnya, jika seseorang itu berpeluh dalam kuantiti yang banyak, pengambilan minuman elektrolit bukan sahaja menggantikan semula air dan glukosa, malah menggantikan semula elektrolit di dalam badan.\nAtlet seperti pelari maraton boleh mempertimbangkan untuk mengambil minuman elektrolit sebagai sumber tenaga yang lebih baik untuk membantu mengekalkan paras gula dan tenaga dalam jangka masa panjang.\nSelain itu, jika seseorang itu kehilangan sejumlah besar cecair badan semasa sakit, sama ada disebabkan oleh muntah atau cirit-birit, mengambil minuman elektrolit boleh membantu menambahkan air dan elektrolit yang hilang dengan cepat.\nMinuman Elektrolit Tidak Sihat?\nMinuman elektrolit dicipta untuk individu yang melakukan aktiviti fizikal atau senaman dengan intensiti yang tinggi dan tempoh yang lama, yakni melebihi 60 minit. Jika seseorang itu bersenam dalam tempoh kurang daripada satu jam, tidak menjadi keperluan untuk individu tersebut mengambil minuman elektrolit kerana pengambilan air kosong adalah mencukupi.\nMinuman elektrolit yang terawal dicipta, iaitu Gatorade telah dicipta untuk membantu menambahkan karbohidrat dan elektrolit dalan kalangan atlet yang melakukan senaman berintensiti tinggi di Universiti Florida pada tahun 1965.\nMinuman ini tidak dicipta untuk diminum oleh orang awam, namun malangnya, jenama minuman ini telah dipasarkan kepada orang ramai dengan mesej yang berbeza. Hal ini menjadikan kebanyakan orang awam yang mengambil minuman elektrolit tetapi tidak melakukan aktiviti fizikal atau senaman. Hal ini hanya akan menyebabkan penambahan berat badan peminumnya akibat kandungan gula yang tinggi di dalam minuman elektrolit.\nMinuman elektrolit atau sebarang minuman manis seperti jus, limau atau soda tidak boleh menggantikan air. Minuman manis ini selalunya menyebabkan pengambilan kalori yang berlebihan dan dengan ketara meningkatkan risiko obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa.\nMinum terlalu banyak minuman elektrolit bergula juga boleh menyebabkan hakisan enamel gigi. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan minuman elektrolit mempunyai skala pH antara tiga hingga empat yang dikaitkan dengan penyahmineralan enamel.\nSelain itu, minuman elektrolit juga tidak mengandungi sebarang nutrien seperti serat dan protein yang diperlukan untuk menyokong kesihatan manusia secara keseluruhan.\nSebagai kesimpulannya, air kosong seharusnya menjadi sumber penghidratan utama untuk kanak-kanak dan orang dewasa. Minuman elektrolit pula hanya boleh diambil semasa dan selepas melakukan aktiviti fizikal atau senaman berintensiti tinggi pada waktu yang berpanjangan.\n\u00a0\nDr. Nursyuhada Mohd Sukri, Ketua Jabatan Sukan Prestasi Tinggi, Akademi Kecergasan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia." "KKD Perkukuh Kerjasama Rapatkan Jurang Digital di Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Lawatan kerja Menteri Komunikasi dan Digital, Yang Berhormat (YB) Tuan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil di Sarawak bermula 19 Mei 2023 bagi memperkukuh kerjasama strategik antara Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dengan Kerajaan Negeri Sarawak serta menzahirkan komitmen bagi menambah baik capaian Internet dan fasiliti telekomunikasi sekali gus merapatkan jurang digital di negeri berkenaan.\n\u201cBagi menangani cabaran keselamatan siber, kerjasama pada peringkat antarabangsa melalui perkongsian maklumat dan pendekatan praktikal aspek perundangan dan kesedaran adalah sangat penting,\u201d ucap YB Tuan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dalam Persidangan Keselamatan Siber Asia Pasifik (ASPEC) 2023 di Hotel Pullman, Kuching anjuran Institut Pengurusan Sarawak (MASA) dan Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS).\nPada masa yang sama, beliau turut merasmikan Majlis Sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi (WTISD) 2023 yang bertemakan \u201cMemperkasakan Masyarakat melalui Teknologi Maklumat dan Digital\u201d di Plaza Merdeka, Kuching.\n\u201cKomitmen kerajaan sangat diperlukan untuk memperkasakan masyarakat menerusi tranformasi digital seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI,\u201d tegas beliau dalam ucapan perasmian tersebut.\nSemasa lawatan beliau selama tiga hari itu, beliau berpeluang meluangkan masa menyantuni kira-kira 100 orang ketua kaum dan pemimpin masyarakat serta golongan kurang berkemampuan dalam program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) dan Kita MADANI anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Sarawak.\nProgram yang dilaksanakan itu dirangka bagi mendekati rakyat pada semua peringkat selain mempromosikan dasar kerajaan serta konsep Malaysia MADANI melalui pendekatan hiburan bermaklumat.\nKetika lawatan beliau di menara telekomunikasi Kampung Trombol, Kuching, beliau memberikan jaminan untuk meneliti bentuk tindakan dan usaha bersama menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerajaan negeri dan syarikat telekomunikasi bagi menyelesaikan masalah naked tower yang merupakan menara satelit tanpa peralatan telekomunikasi.\nTurut hadir dalam sesi lawatan tersebut ialah Ketua Setiausaha KKD, YBhg. Datuk Mohamad Fauzi Md. Isa bersama-sama wakil Kerajaan Negeri Sarawak, ketua jabatan dan agensi di bawah KKD termasuklah SKMM." "Terumbu Karang Diancam Bahaya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCuaca yang tidak menentu, peralihan musim dan suhu ekstrem sering dikaitkan dengan perubahan Iklim. Pemanasan bumi disebabkan oleh tindakan manusia seperti pelepasan gas rumah kaca dan pemusnahan sistem pengawalan semula jadi adalah antara penyebab perubahan iklim yang berlaku.\nSejak bermulanya revolusi industri pada abad ke-19, suhu permukaan global telah meningkat lebih daripada satu darjah Celsius. Walaupun angka ini kelihatan kecil, masyarakat harus memahami bahawa bumi sangat cekap dalam mengawal sistem dalamannya. Perubahan suhu yang kecil daripada purata suhu dunia menandakan suatu perubahan yang besar dalam sistem tersebut.\nTerdapat laporan yang menunjukkan trend pemanasan global yang membimbangkan dengan menyatakan bahawa pada tahun 2022 sebagai tahun yang paling panas, terutamanya di permukaan air laut. Selain itu, gelombang panas fenomena El Nino dijangkakan berlaku pada tahun ini.\nJabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah mengeluarkan amaran beberapa bulan sebelum puncak pemanasan global yang dijangkakan berlaku pada Julai 2023. Pemanasan di darat di negara ini telah dirasai yang dibuktikan dengan pelbagai laporan yang dilaporkan di media massa. Walau bagaimanapun, tidak banyak perhatian diberikan kepada pemanasan di lautan yang luas, terutamanya di perairan Malaysia.\nAntara habitat marin dan ekosistem yang paling terjejas disebabkan oleh perubahan iklim termasuklah terumbu karang. Malaysia mempunyai kira-kira 4006 kilometer persegi keluasan terumbu karang yang merentasi sepanjang pantai yang cetek, yakni kedalaman kurang daripada 20 meter di kepulauan Semenanjung Malaysia dan Borneo. Ekosistem ini amat sensitif terhadap perubahan suhu, terutamanya pemanasan di permukaan air laut.\nDengan perubahan kecil terhadap suhu udara dan peningkatan keamatan sinaran matahari, air laut yang cetek mudah dipanaskan. Dengan pola pemanasan semasa dan gelombang haba yang dijangkakan daripada fenomena El Nino pada musim panas ini, hal ini mendatangkan kegusaran kepada beberapa pihak kerana haiwan di dalam terumbu karang berkemungkinan akan mati secara besar-besaran.\nHal ini dikatakan demikian kerana blok binaan utama terumbu karang, iaitu batu karang atau nama saintifiknya Scleractinia sangat sensitif terhadap perubahan suhu. Julat suhu air laut batu karang yang normal adalah sekitar 25 darjah Celsius hingga 28 darjah Celsius. Jika corak pemanasan ini berterusan, suhu air cetek berkemungkinan melebihi 30 darjah Celsius menjelang musim panas.\nPeningkatan suhu akan menyebabkan banyak interaksi biologi, kimia dan fizikal di dalam laut berubah secara ketara, terutamanya kitaran biologi di dalam terumbu karang. Antara interaksi biologi yang terjejas termasuklah pecahan hubungan biologi antara batu karang dengan organisma simbiotik, terutamanya alga simbiotik yang berwarna-warni.\nUntuk melindungi dirinya daripada toksik akibat peningkatan suhu, batu karang (tuan rumah) terpaksa mengusir alga simbiotik daripada sistemnya secara paksa. Tindakan ini menyebabkan warna terumbu karang meluntur menjadi putih, sekali gus membawa kepada fenomena yang dikenali sebagai \u201cpelunturan terumbu karang\u201c.\nTanpa alga simbiotik, batu karang yang luntur hanya dapat bertahan kira-kira dua minggu hingga empat minggu dalam keadaan suhu air laut yang panas. Hal ini dikatakan demikian kerana 90 peratus sumber makanan batu karang putih bergantung pada alga simbiotik tersebut.\nJika hubungan ini tidak dipulihkan dalam masa yang ditetapkan, batu karang akan mati kelaparan dan mengakibatkan kematian batu karang dan terumbu karang secara besar-besaran.\nKejadian pelunturan terumbu karang berskala besar pertama di Malaysia dilaporkan berlaku pada tahun 1998 semasa fenomena El Nino. Namun begitu, rekod saintifik terhadap tindak balas kejadian itu amat terhad pada waktu tersebut.\nApabila berlakunya fenomena El Nino yang seterusnya dan kejadian pelunturan terumbu karang secara besar-besaran pada tahun 2010, pihak berkuasa Malaysia ketika itu (Jabatan Taman Laut) mengambil tindakan sistematik dengan menutup kawasan terumbu karang yang terjejas daripada kunjungan para pengunjung. Tindakan tersebut dapat meminimumkan kesan pemutihan terumbu karang, namun penambahbaikan perlu dilakukan bagi meminimumkan kesan ekonomi penutupan tapak terumbu karang.\nAntara tahun 2015 hingga tahun 2017, kejadian pelunturan terumbu karang secara besar-besaran dilaporkan di seluruh dunia. Kawasan yang paling teruk terjejas ialah di Great Barrier Reef, Australia. Namun demikian, Malaysia hanya mengalami kerosakan yang minimum disebabkan oleh kesan ringan fenomena El Nino ketika itu.\nPada tahun ini, METMalaysia telah mengeluarkan amaran tentang risiko tinggi fenomena El Nino yang akan melanda Malaysia antara Julai 2023 hingga September 2023. Pada masa yang sama, NOAA Coral Reef Watch juga mengeluarkan amaran terdapat peluang sebanyak 60 peratus untuk pemutihan karang berlaku di Malaysia menjelang Julai 2023.\nSudah tiba masanya bagi setiap pihak yang berkepentingan dengan terumbu karang di Malaysia untuk membuat perancangan dan menyusun tindakan yang sewajarnya dengan segera.\nJabatan Perikanan Malaysia dengan bantuan Bahagian Taman Laut dan Pengurusan Sumber harus melaksanakan usaha ini bagi melestarikan dan membina kecekapan terumbu karang dalam menghadapi gelombang haba yang akan datang. Ahli sains dan pemuliharaan juga dinasihatkan agar bekerjasama dengan pengurus terumbu karang tempatan untuk menjayakan usaha ini.\n\u00a0\nDr. Wee Hin Boo, Felow Penyelidik, Institut Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia." "Fenomena El Nino Tidak Jejas Sekuriti Makanan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u00a0\u2013 Pengeluaran makanan di negara ini masih mencukupi dan tidak terjejas walaupun negara mengalami fenomena El Nino, namun jika terdapat masalah berkaitan dengan sumber air, pengeluaran makanan berisiko terjejas.\nDemikian kupasan yang diberikan oleh Pengarah Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja, Jabatan Pertanian Malaysia (JPM), Encik Mat Iesak Ngathinee dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM), pagi tadi.\n\u201cBerikutan Malaysia mengalami cuaca panas yang ekstrem dan mampu menjejaskan kesihatan para petani dan pengeluaran hasil tanaman pada masa ini, JPM mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan bekalan makanan sentiasa terjamin dan mengelakkan kerugian hasil tanaman,\u201d kata Encik Mat Iesak Ngathinee ketika ditemu bual dalam rancangan SPM tersebut.\nMenurut beliau lagi, serangan makhluk perosak dan taburan hujan yang tidak menentu menyebabkan hasil tanaman terjejas kerana tanaman sangat memerlukan jumlah air yang mencukupi bagi memastikan kesuburan tanah itu sentiasa berada pada tahap yang tinggi.\nAntara kesan cuaca panas terhadap tanaman termasuklah peningkatan penyejatan kepada tumbuhan yang menyebabkan kekurangan kelembapan tanah dan penyerapan nutrien, tanaman mengalami tekanan air, aktiviti akar berkurangan serta pH tanah turut terjejas sekali gus mengakibatkan keadaan tanah beralkali yang mengurangkan ketersediaan nutrien untuk diserap oleh tanaman.\nTerdapat beberapa langkah mitigasi yang sedang diusahakan oleh JPM bagi memastikan hasil pertanian tidak terjejas, iaitu membina telaga tiub, menyelenggara telaga tiub yang sedia ada, membina empangan di saliran yang kecil di sungai, menggunakan kaedah sungkupan ke atas tanaman bagi mengelakkan pengaliran air yang berlebihan, menggunakan sistem pengairan titis serta melaksanakan aktiviti pertanian dalam persekitaran yang terkawal dengan menggunakan penyesuaian teknologi berdasarkan faktor cuaca serta mempergiatkan aktiviti pengembangan pertanian.\nTambah beliau, bagi perancangan untuk jangka masa panjang pula, JPM akan memperkukuh pembinaan teknologi moden, bercadang untuk mendapatkan satu sistem ramalan cuaca berketepatan tinggi yang boleh dirujuk dalam bidang pertanian, membangunkan penggunaan varieti tanaman yang toleransi terhadap cuaca serta bekerjasama dengan jabatan lain atau pihak swasta dalam memperkasakan inovasi tanaman.\nJPM juga memperkenalkan satu Sistem GeoTanaman bagi membantu pengusaha tanaman dapat berdaftar dengan sistem ini dan membolehkan mereka merancang pengeluaran tanaman mengikut suatu kawasan agar selari dengan keperluan pasaran melalui data semasa yang terdapat dalam sistem berkenaan.\nSebelum mengakhiri sesi temu bual tersebut, beliau turut memaklumkan bahawa JPM akan melaksanakan Seminar Pelaburan Sektor Makanan dalam Agromakanan Malaysia bagi menangani kestabilan dan kesejahteraan bekalan makanan negara pada 25 Mei 2023 (Khamis).\nSeminar ini akan menerangkan hala tuju Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan dasar pelaburan agromakanan negara, menjelaskan pendekatan yang dilakukan oleh JPM dalam memastikan keterjaminan makanan serta membincangkan lokasi sektor pertanian di negeri yang berpotensi untuk melakukan pelaburan." "Persidangan APEC Serantau Asia-Pasifik Tingkat Kapasiti Cegah Demensia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pelaksanaan Persidangan APEC Serantau Asia-Pasifik: Pencegahan Demensia 2023 bertujuan meningkatkan kapasiti dalam mencegah demensia dengan memperkasakan sistem penjagaan kesihatan di rantau Asia Pasifik dan membincangkan cara untuk mengurangkan beban ekonomi demensia terhadap keluarga, komuniti dan sistem penjagaan kesihatan.\nPersidangan berkenaan dianjurkan oleh Asia Pacific Economic Cooperation (APEC) dengan kerjasama Pusat Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diadakan di Hotel Berjaya Times Square selama dua hari dan disertai oleh para profesional daripada 12 buah negara.\nHari pertama persidangan dimulakan dengan sesi perkongsian oleh pakar bidang seperti YBrs. Profesor Dr. Kaarin Jane Anstey daripada University of New South Wales, Australia dan YBrs. Profesor Dr. Fransesca Mangialasche daripada Karolinska Institute, Stockholm, Sweden.\nSeterusnya, sesi pembentangan tentang dasar dan strategi pencegahan demensia oleh para peserta dan pihak berkepentingan penjagaan kesihatan daripada 12 buah negara diadakan yang melibatkan Singapura, Australia, Brunei, Chile, China, Indonesia, Malaysia, Peru, Filipina, Rusia, Thailand dan Vietnam.\nPersidangan tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, YBrs. Dr. Mohd Azman Yacob bagi mewakili Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat Dr. Zaliha Mustafa.\nPada hari kedua persidangan pula, sesi perkongsian tentang instrumen saringan dan pengesanan awal kemerosatan kognitif telah disampaikan oleh Pengarah Dementia Research Centre, National University Hospital, Singapura, YBrs. Profesor Madya Nagaendran Kandiah.\nSebanyak empat bengkel interaktif turut diadakan pada hari kedua persidangan berkenaan bagi membincangkan kesedaran psikopendidikan mengenai strategi untuk mencegah demensia dalam kalangan orang dewasa.\nPersidangan APEC Serantau Asia-Pasifik: Pencegahan Demensia mampu mengukuhkan rangkaian yang menekankan keutamaan APEC, terutamanya berkaitan dengan \u201cekonomi sihat dalam dunia penuaan\u201d bagi menggalakkan penuaan sihat termasuklah strategi untuk mencegah demensia.\nTurut hadir dalam persidangan tersebut ialah Dekan FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar yang mewakili Naib Canselor UKM dan penyelia projek APEC Serantau Asia-Pasifik: Pencegahan Demensia 2023, YBrs. Profesor Madya Dr. Ponnusamy Subramaniam serta hampir 200 orang peserta daripada pelbagai negara APEC yang menyertai persidangan ini sama ada secara bersemuka ataupun dalam talian." "Malaysia Responsif terhadap Agenda Biodiversiti Kebangsaan dan Antarabangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Malaysia akan sentiasa memberikan kerjasama dan mengambil langkah yang responsif terhadap agenda biodiversiti pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuklah mengukuhkan tadbir urus pengurusan biodiversiti melalui Majlis Biodiversiti Negara, menyelaras Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal ke dalam Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025 dan menubuhkan Pusat Biodiversiti Malaysia.\nSambutan Hari Biodiversiti Antarabangsa pada tahun ini yang bertemakan \u201cDaripada Persetujuan kepada Tindakan: Membina Kembali Biodiversiti\u201d bertujuan memperingati pemuktamadan teks Konvensyen Kepelbagaian Biologi di Sidang Kemuncak Bumi Rio pada 22 Mei 1992 dan meningkatkan kesedaran global berkenaan dengan kepentingan biodiversiti dan ekosistem kepada kelangsungan hidup masyarakat sejagat.\n\u201cKementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan terus menerajui pengurusan biodiversiti pada peringkat kebangsaan dengan kerjasama padu daripada kerajaan negeri dan semua pihak yang berkepentingan bagi memastikan khazanah biodiversiti negara akan sentiasa terpelihara untuk generasi kini dan akan datang,\u201d kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yang Berhormat Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan NRECC dan Bicara Biodiversiti.\nDalam program tersebut juga, beliau melancarkan buku Trappers in Nature \u2013 The Nepenthes of Peninsular Malaysia dan menyampaikan anugerah antarabangsa \u201cClearing House Mechanism\u201d kepada Malaysia Biodiversity Information System (MyBIS) daripada sekretariat Konvensyen Kepelbagaian Biologi." "Perkasakan Bahasa Melayu dalam Sektor Pendidikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bersempena dengan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang diadakan pada 22 Mei hingga 24 Mei 2022 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur, telah berlangsung pembentangan kertas kerja oleh empat orang sarjana dari dalam dan luar negara yang bertemakan \u201cBahasa Melayu dalam Pelbagai Bidang Pendidikan\u201c. Pembentangan kertas kerja bagi sidang kedua yang dipengerusikan oleh Kol. (B) Prof. Madya Dr. Mohd Zaini Salleh dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ini menampilkan Prof. Dato\u2019 Dr. Md Amin Md Taff dan Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman dari Malaysia, Dr. Kang Myoung Sook dari Korea Selatan dan Dr. Mohamad Zain Musa dari Kemboja sebagai pembentang.\nSeiring dengan harapan Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob untuk menyaksikan bahasa Melayu menjadi satu daripada bahasa dunia, iaitu bermula dengan mengangkatnya menjadi bahasa rasmi kedua ASEAN pada peringkat awal, Pejabat Perdana Menteri, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini menghimpunkan puluhan tokoh bahasa dan pembentang kertas kerja yang dapat merealisasikan harapan tersebut dalam simposium selama tiga hari ini.\nMenurut Prof. Dato\u2019 Dr. Md Amin Md Taff, bahasa ialah alat utama bagi pejuang terdahulu untuk menyatukan anak bangsa tanpa mengira bahasa dan etnik. Kini penyelidik perlu terus mempergiat usaha untuk menyebarkan ilmu dengan menggunakan bahasa Melayu tanpa mengehadkannya kepada bidang tertentu seperti budaya dan sebaliknya memfokuskan semua bidang yang ada di Malaysia.\nBagi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa, beliau juga menyenaraikan cabaran yang perlu dihadapi bersama oleh semua pihak. Yang pertama, cabaran untuk menyatukan bahasa Melayu Nusantara yang sekian lama terpisah oleh sempadan yang dicipta oleh penjajah. Dalam hal ini, bangsa Melayu harus bersatu dalam memartabatkan bahasa Melayu demi menjadikannya bahasa antarabangsa. Kedua, cabaran untuk menggalakkan bangsa bukan Melayu mempelajari bahasa Melayu. Cabaran ini dapat diatasi dengan cara memperkukuh ekonomi dan teknologi orang Melayu. Pengukuhan ekonomi dan teknologi ini sebenarnya telah terbukti meningkatkan permintaan terhadap sesuatu bahasa, seperti bahasa Cina. Cabaran ketiga pula ialah usaha untuk mengangkat dan memartabatkan bahasa Melayu tanpa menghapuskan bahasa lain. Pemartabatan bahasa Melayu harus dilakukan secara terancang tanpa meminggirkan bahasa lain yang terdapat di Malaysia.\nDr. Raja Rajeswari Seetha Raman pula menyatakan bahawa bahasa Melayu ialah penanda bagi identiti, serta pemancar imej dan lambang kedaulatan negara. Tambahnya lagi, tamadun Melayu tercipta daripada bahasa Melayu oleh bangsa Melayu itu sendiri. Jika diimbas pada abad ke-17 dan abad ke-18, jika ada sesiapa yang tidak mengetahui bahasa Melayu, orang tersebut akan dianggap sebagai tidak berpendidikan dan buta huruf. Yang lebih uniknya, perkara ini masih berterusan pada peringkat antarabangsa.\nMenurut beliau, Hikayat Raja Pasai wujud lebih awal daripada karya agung Inggeris yang pertama. Begitu juga dengan Sulalat al-Salatin yang dikarang pada tahun 1612 menjadi bukti sejarah agung bahasa Melayu yang mendahului karya agung bangsa lain. Beliau juga menegaskan bahawa metafora bahasa Melayu mempunyai ciri implisit dan tersirat, sedangkan metafora bahasa Inggeris hanya mengandungi ciri ekspisit sebagai bukti pemikiran aras tinggi bagi bangsa Melayu. Oleh sebab itu, pengguna bahasa Melayu perlu meyakini keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa.\nBagi Dr. Kang Myoung Sook pula, bahasa Melayu telah digunakan dalam sektor pendidikan di Korea Selatan sejak era 1960-an dengan dimulai oleh bahasa Indonesia. Namun begitu, terdapat beberapa kekurangan besar yang boleh diperbaiki. Berdasarkan pengalamannya ketika datang ke Malaysia dengan berbekalkan pengetahuan dalam bahasa Indonesia, beliau yakin mampu berkomunikasi dengan masyarakat di Malaysia tanpa masalah. Namun begitu, rupa-rupanya bahasa Indonesia berbeza daripada bahasa Melayu dan menyebabkan beliau tidak berjaya menyampaikan mesej yang dihajati kerana difahami secara berbeza oleh orang yang mendengarnya.\nSelain itu, beliau juga berharap agar lebih banyak kamus dan buku dapat diterbitkan untuk membantu warga Korea Selatan mempelajari bahasa Melayu dengan lebih mudah. Hal ini dikatakan demikian kerana kurangnya bahasa bacaan dan rujukan, terutamanya kamus, yang dapat digunakan sebagai rujukan ketika mempelajari bahasa Melayu.\nSebagai pembentang terakhir, Dr. Mohamad Zain Musa yang menulis sehingga 100 artikel dalam saluran kebangsaan dan antarabangsa menyatakan bahawa bagi sektor pendidikan di Kemboja, ibu bapa cenderung untuk menghantar anak ke sekolah yang menyediakan subjek Bahasa Melayu, sama ada yang menggunakan tulisan Rumi atau Jawi. Hal ini dilakukan semata-mata untuk mengeratkan talian persaudaraan antara orang Melayu dengan orang Kemboja.\nPada peringkat yang lebih tinggi, beliau turut mencadangkan program pengantarabangsaan bahasa Melayu, tetapi istilah yang sedia ada perlu dimantapkan terlebih dahulu. Beliau juga berharap supaya simposium ini tidak berakhir begitu sahaja dan sebaliknya dapat menjurus kepada suatu usaha yang lebih giat oleh semua pihak." "UKM Perkukuh Kerjasama dengan Negara Asia Tenggara bagi Mengurangkan Risiko Demensia Warga Emas\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sesi perbincangan bersama-sama penyelidik daripada pelbagai negara Asia Tenggara anjuran Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-Care), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai satu daripada usaha untuk meningkatkan jaringan kerjasama dengan negara luar bagi intervensi gaya hidup pelbagai domain untuk menurunkan risiko demensia dalam kalangan warga emas telah diadakan, semalam.\nSesi perbincangan yang dipengerusikan oleh penyelidik utama \u201cAGELESS Trial\u201d merangkap Dekan FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar bertujuan membincangkan suatu program intervensi bagi mengurangkan dan melambatkan risiko demensia serta menghasilkan bukti penyelidikan saintifik terhadap pengurangan risiko demensia dan penuaan sihat dalam kalangan warga emas.\n\u201cAGELESS Trial\u201d ialah projek penyelidikan yang ditaja oleh Kementerian Pengajian Tinggi melalui Geran Penyelidikan Jangka Panjang dan diadaptasi daripada kajian \u201cFINGER Trial\u201d di Sweden mengikut budaya tempatan dalam kalangan warga emas di Malaysia.\nSesi perbincangan dimulakan dengan penerangan tentang keberkesanan program intervensi selama dua tahun dalam mencegah kemerosotan kognitif melalui perubahan gaya hidup oleh penyelidik utama \u201cFINGER Trial\u201d, YBrs. Profesor Dr. Francesca Mangialasche.\nSeterusnya, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar berpeluang membentangkan dapatan kajian awal daripada Malaysia, iaitu \u201cAGELESS Trial\u201d yang melaporkan terdapat peningkatan fungsi kognitif dan fizikal dalam kalangan warga emas yang menghidap keuzuran kognitif selepas enam bulan program intervensi ini dijalankan.\nBukan itu sahaja, dapatan kajian ini turut dikongsikan dari semasa ke semasa melalui penerbitan makalah dalam jurnal tempatan dan antarabangsa serta persidangan di dalam negara dan luar negara.\n\u201cProgram intervensi seumpama ini seharusnya dilakukan di negara jiran untuk kemaslahatan komuniti sekali gus dapat mengurangkan beban dalam kalangan penjaga, komuniti dan sistem penjagaan kesihatan di negara masing-masing,\u201d kata YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar dalam program tersebut.\nSelain itu, program berkenaan juga mengadakan sesi perkongsian pandangan oleh para penyelidik yang hadir daripada setiap negara tentang isu yang berlaku, terutamanya kemerosotan atau keuzuran kognitif dalam kalangan warga emas pada peringkat komuniti dan klinikal.\nBerdasarkan sesi perkongsian tersebut, didapati bahawa terdapat beberapa kekangan yang dihadapi dalam melaksanakan program intervensi ini, misalnya dari segi dana untuk menjalankan program tersebut, kekurangan tenaga kerja, penyeragaman alat saringan dan penilaian yang digunakan serta isu hak cipta terhadap alat yang digunakan.\nWalau bagaimanapun, barisan perwakilan daripada setiap negara telah memberikan beberapa cadangan yang boleh dilakukan agar program intervensi tersebut dapat dilaksanakan di negara masing-masing mengikut budaya tempatan, yakni dengan menubuhkan sebuah organisasi yang dinamakan sebagai \u201cFINGERS -Asia Tenggara\u201d.\nMelalui kerjasama antara \u201cFINGERS\u201d dengan negara Asia Tenggara ini, keseragaman data untuk negara di Asia Tenggara akan dilakukan dan kajian saintifik berkaitan dengan kemerosotan kognitif dalam kalangan warga emas dapat dihasilkan dengan lebih banyak pada peringkat antarabangsa.\nHal ini sekaligus dapat memperkasakan kesejahteraan penuaan yang sihat dari segi minda dan fizikal serta mendokong aspirasi dalam melahirkan warga emas yang berdikari selari dengan Dasar Warga Emas Negara.\nTurut hadir dalam program tersebut ialah penyelidik daripada Neuroscience Research Australia, YBrs. Profesor Dr. Kaarin Jane Anstey dan penyelidik daripada Karonlinska Institute, Stockholm, Sweden, YBrs. Profesor Dr. Francesca Mangialasche, para penyelidik dan profesional penjagaan kesihatan daripada Indonesia, Brunei, Singapura, China, Filipina, Vietnam dan Thailand bagi berkongsikan pendapat tentang strategi yang dilakukan oleh negara masing-masing sebagai persediaan dalam menghadapi jumlah populasi warga emas dan kelaziman demensia yang dijangkakan semakin meningkat." "Seminar EMPOWER 2023 Mengangkat Tema Pencegahan dan Pengurangan Demensia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-Care), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Seminar Empowering Independency Among Older Adults in The Community di Zecon Hotel & Convention Centre, Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia, hari ini untuk memberikan pendedahan dan peningkatan ilmu mengenai pengurusan risiko dan pencegahan demensia dalam kalangan masyarakat.\nDengan tema \u201cPencegahan dan Pengurangan Risiko Demensia\u201d, seminar ini disertai oleh 80 peserta secara hibrid, yakni secara fizikal dan dalam talian yang terdiri daripada kalangan penyelidik, ahli perubatan, ahli sains kesihatan, pelajar siswazah dan warga emas.\nSidang pleno yang pertama dalam seminar ini membincangkan cabaran dan strategi dalam mengurangkan risiko demensia di negara berpendapatan rendah dan sederhana yang sampaikan oleh Dr. Francesca Mangialasche dari Karolinska Institutet, Sweden.\nMenurut beliau, pencegahan demensia harus memfokuskan kepada pencegahan individu berisiko tinggi (pelan individu) dan pencegahan kepada keseluruhan penduduk.\nSidang pleno yang kedua pula disampaikan oleh Penyelia Projek Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Serantau Asia-Pasifik dalam Pencegahan Demensia, Profesor Madya Dr. Ponnusamy Subramaniam dan Dr. Resshaya Roobini Murukesu tentang usaha APEC dalam mengurangi risiko demensia.\nMereka menerangkan tentang inisiatif yang dijalankan pihak APEC dengan menjalankan penyelidikan bersasar bagi mencegah dan mengurangkan risiko demensia selain membincangkan faktor yang berkaitan dengan demensia seperti cara hidup, makanan yang baik bagi perkembangan kognitif serta aktiviti sosial dan latihan kognitif.\nDr. Resshaya juga memberikan penekanan terhadap integrasi dalam memastikan kesejahteraan kognitif yang baik di samping merumuskan bahawa cara hidup yang sihat sejak muda adalah amat penting bagi pengurangan risiko demensia.\nSidang pleno seterusnya disambung oleh Profesor Dr. Karin Anstey dari University of New South Wales, Australia yang berkongsikan tentang bukti kukuh dan inisiatif global untuk mengurangkan risiko demensia.\nMenurut beliau, intervensi terkini dalam pengurusan demensia adalah seperti model FINGER yang memfokuskan model multidomain, iaitu pemakanan, senaman, latihan kognitif, aktiviti sosial dan pemantauan risiko vaskular.\nSementara itu, Pengarah Dementia Research Centre, National University Hospital, Singapura, Profesor Madya Dr. Nagaendran Kandiah menyampaikan ceramah yang bertajuk penilaian dan pemeriksaan kemerosotan kognitif dalam usaha mengurangkan risiko demensia.\nBeliau berkongsikan tentang instrumen saringan dan pengesanan awal kemorosatan kognitif yang telah dijalankan di Singapura melalui fasiliti kesihatan primer.\nYang menariknya, Singapura telah mula menjalankan saringan biopenanda bagi mengesan risiko demensia pada awal usia yang diharapkan dapat membantu dalam pengesanan dan pencegahan demensia.\nSeminar ini turut menampilkan beberapa pakar bidang, iaitu Profesor Dr. Tan Mew Pin (Universiti Malaya), Profesor Madya Dr. Rahimah Ibrahim (Universiti Putra Malaysia), Profesor Dr. Suzana Shahar (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan Profesor Dr. Shaun Lee Wen Huey (Universiti Monash) yang telah berkongsikan hasil kajian Geran Penyelidikan Jangka Masa Panjang (LRGS) AGELESS Study (Cognitive Frailty).\nSeminar diakhiri dengan pembentangan peserta program di bawah tiga tema, iaitu Penyelidikan Translasi, Inovasi dan Kesihatan Digital dan Penemuan Baharu dalam Makmal." "MARDI Menemukan Varieti Terbaharu Spesies Periuk Kera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSerdang \u2013 Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menemukan varieti baharu spesies periuk kera atau nama saintifiknya Napenthes rafflesiana daripada varieti Zabawiana yang disahkan sebagai varieti yang pertama di dunia.\nKetua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata varieti terbaharu dalam dunia itu ditemukan dalam penyelidikan di Taman Negara Rompin, Pahang dan Setiu Wetlands, Terengganu pada Mei tahun lalu.\n\u201cVarieti terbaharu di Malaysia dan dunia itu yang mempunyai bentuk seakan-akan telinga serta berwarna hijau kekuningan hingga hijau kemerahan, manakala periuk atasnya mempunyai bentuk silinder lebih kecil yang dinamakan Zabawiana,\u201d jelasnya dalam sidang media selepas majlis Pelancaran Sambutan Hari Biodiversiti Mardi 2023 baru-baru ini.\nMenurut beliau, varieti terbaharu itu belum berdaftar atau diterbitkan dalam mana-mana dokumentasi, jurnal atau laporan dan telah ditentusahkan oleh pakar botani Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Latiff Mohamad.\nKatanya lagi, varieti baharu itu mampu tumbuh subur di kawasan tanah rendah, tahan lasak dan mudah dibiakkan menggunakan keratan batang serta berpotensi dikomersialkan sebagai tanaman hiasan atau landskap yang menarik.\nBeliau menjelaskan bahawa periuk kera merupakan tumbuhan unik yang mencernakan serangga selain terkenal dengan istilah tumbuhan karnivor kerana bahagian bawah struktur periuk tersebut terdapatnya takungan enzim dan mangsa yang tidak dapat melepaskan diri akan lemas.\nTambahnya, enzim yang terdapat di dalam periuk kera berkenaan adalah khusus untuk mencernakan makanan dan kemudiannya menyerap nutrien.\n\u201cPihak MARDI akan menjalankan penyelidikan lanjut mengenai enzim yang terdapat di bahagian bawah struktur periuk itu bagi mengkaji kegunaan enzim tersebut untuk tujuan perubatan dan pertanian,\u201d jelasnya lagi.\nSidang media berkaitan penemuan varieti baharu dalam spesis pokok kera ini turut disiarkan secara dalam talian melalui Facebook MARDI di sini." "Menghapuskan Stigma dan Diskriminasi Penyakit Kusta\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada tahun 1955, seorang kanak-kanak berusia 11 tahun ditinggalkan bersendirian oleh ibunya di Hospital Peringatan Rajah Charles Brooke (RCBMH) yang terletak di Kota Padawan, Kuching, Sarawak. Kedua-duanya menangis sambil berpelukan sebelum ibunya mengucapkan selamat tinggal kepada anak kesayangannya itu.\nKisah tersebut merupakan suasana yang biasa berlaku di hadapan RCBMH pada sekitar pertengahan tahun 1920-an hingga tahun 1970-an. Pesakit dengan pelbagai latar belakang dan peringkat umur yang menghidap penyakit kusta atau lebih dikenali dengan penyakit Hansen perlu dipisahkan daripada keluarga masing-masing bagi mendapatkan rawatan di hospital tersebut.\nPengasingan pesakit diwajibkan di seluruh negeri Sarawak semasa pemerintahan kolonial keluarga Brooke bagi mengelakkan pesakit daripada menyebarkan penyakitnya kepada ahli keluarga dan khalayak umum.\nPenyakit kusta ialah penyakit kulit yang telah lama tercatat dalam sejarah kemanusiaan kuno yang menyatakan bahawa apabila tidak dirawat akan menyebabkan kecacatan kepada badan seumur hidup. Masyarakat pada sekitar abad ke-20 memandang hina dan memulaukan pesakit dan ahli keluarganya, lantaran kecacatan anggota badan pesakit yang terlihat agak menggerunkan.\nSeorang penulis dari Amerika Syarikat bernama Pam Fessler menggambarkan seorang pesakit kusta yang mempunyai kerutan yang dalam dan berlapis-lapis pada bahagian muka. Pesakit juga seolah-olah kehilangan tulang hidung dengan lubang benam yang terbentuk di lubang hidungnya. Selain itu, jari tangan dan kaki akan kehilangan deria sentuhan dan mengecut seakan-akan buku jari dilipatkan.\nKecacatan tubuh badan seterusnya mendedahkan stigma atau sikap yang menjatuhkan maruah pesakit secara berterusan dalam kalangan masyarakat. Yang lebih menyedihkan, pesakit tidak diterima oleh komuniti setempat dan kebanyakannya diusir keluar dari kampung halaman masing-masing.\nPerasaan panik yang dihadapi oleh orang awam terhadap penyakit kusta pada ketika itu menyebabkan pemerintah kolonial Sarawak terpaksa menempatkan mereka jauh dari kawasan penempatan penduduk serta mengasingkan pesakit daripada rawatan hospital kerajaan biasa.\nKepercayaan lama sesetengah masyarakat Sarawak yang merendah-rendahkan maruah pesakit hanya menambahkan ketakutan dan perasaan malu untuk pesakit mendapatkan rawatan dengan segera hingga lama-kelamaan mengakibatkan kecacatan seperti yang digambarkan oleh Pam Fessler.\nAntara mitos bagi penyakit kusta termasuklah pesakit mempunyai darah yang kotor yang boleh menyebarkan penyakitnya kepada orang lain serta keturunannya. Menghidap penyakit itu juga dikatakan sebagai hukuman dan pembalasan Tuhan atas perbuatan yang terkutuk akibat terlibat dengan aktiviti perzinaan dan pelacuran. Hal ini secara langsung menjadikan pesakit kusta tidak dibenarkan untuk menjalinkan hubungan dan berkahwin dengan orang yang sihat.\nSelain itu, pesakit kusta tidak dibenarkan untuk bergaul bersama-sama dengan masyarakat, menggunakan pengangkutan awam mahupun menjamah makan di ruang makan yang sama dengan orang yang sihat. Jika dibandingkan dengan penyakit yang sedang dilalui oleh dunia, iaitu penyakit COVID-19, masyarakat pada abad ke-20 juga disarankan untuk menjauhkan diri daripada pesakit kusta.\nMeskipun tahap keseriusan penyakit kusta untuk menyebarkan penyakitnya tidaklah sebegitu pantas seperti COVID-19, pesakit kusta menerima stigma yang amat serius daripada masyarakat akibat kecacatan rupa paras yang dihadapi oleh pesakit.\nKisah kanak-kanak berusia 11 tahun yang ditinggalkan bersendirian bagi menerima rawatan di RCBMH ialah satu daripada kes yang sudah mencapai peringkat yang teruk yang dikenali sebagai jenis multibacillary atau lepromatous leprosy, iaitu tompok-tompok putih kemerahan sudah banyak dan merebak di seluruh badan.\nKanak-kanak itu masih ingat akan raut wajah ibunya yang bertukar menjadi pucat lesi setelah melihat beberapa tompokan kecil yang berwarna putih kemerahan yang tidak berpeluh dan kurang deria sentuhan pada kulit lengannya, iaitu tanda-tanda awal penyakit kusta.\nNamun begitu, ibunya hanya mengurungnya di dalam bilik dan tidak membenarkannya bertemu dengan rakan sepermainan dan saudara-mara yang datang berkunjung ke rumah. Ibunya berasa khuatir sekiranya berita mengenai keadaan anaknya diketahui oleh orang kampung yang bakal menimbulkan desas-desus yang kurang menyenangkan dan seterusnya memberikan kesan yang buruk terhadap kehidupan mereka sekeluarga.\nSetelah beberapa bulan, urat saraf jari tangan kanak-kanak itu mulai berasa kebas dan hilang deria sentuhan serta jari-jemarinya seakan-akan mengecut. Ibu kanak-kanak itu harus menerima kenyataan bahawa penyakit yang ditakuti itu hadir dalam keluarganya.\nDia lantas mengambil keputusan untuk menghantar anaknya ke RCBMH atas nasihat ahli keluarga yang terdekat dengan hati yang penuh keberatan. Apabila orang kampung bertanya akan keberadaan anaknya, dia hanya menjelaskan anak kesayangannya berjaya menyambung pelajaran dan berkemungkinan menetap terus di bandar Kuching.\nKanak-kanak itu yang kini berumur 79 tahun menceritakan bahawa hubungan dengan keluarganya tidak pernah terputus dan dirinya sebagai pesakit kusta menjadi rahsia keluarganya. Dia menerima rawatan yang sewajarnya di RCBMH dan bebas daripada penyakit itu selang 20 tahun kemudian. Kehidupannya selama beberapa dekad di hospital banyak mengubah pendiriannya terhadap penyakit yang tabu untuk dibincangkan.\nPersoalan yang sering bermain-main difikiran masyarakat ialah sama ada pesakit kusta mengalami kecacatan seperti yang digambarkan oleh penulis Pam Fessler. Sebenarnya, kecacatan anggota badan terjadi sekiranya pesakit membiarkan penyakitnya berlarutan dan tidak mendapatkan rawatan dengan segera, lebih-lebih lagi disebabkan mahu mengelakkan daripada cemuhan masyarakat.\nTambahan pula, pesakit kusta yang menerima rawatan awal mampu mencegah sebarang kecacatan badan dan hanya perlu mendapatkan rawatan di RCBMH sebagai pesakit luar.\nPerkara yang tidak dapat dihilangkan daripada kehidupannya ialah penerimaan dirinya sebagai seorang bekas pesakit kusta. Dia tidak pernah pulang semula ke kampungnya dan hanya menyampaikan berita perkahwinannya dengan seorang bekas pesakit melalui beberapa utusan surat kepada keluarganya.\nDia bersama-sama suaminya membesarkan empat orang anak di hospital dan semua anaknya sihat tanpa penyakit kusta. Mereka menyara kehidupan dengan bekerja sebagai pembantu makmal dan wad RCBMH atau dikenali dengan nama panggilan pesakit\u2013pekerja (patient\u2013worker), iaitu program yang menawarkan pekerjaan dan kemahiran kepada bekas pesakit kusta di hospital tersebut.\nJumlah kes penyakit kusta juga menunjukkan pengurangan bilangan pesakit di RCBMH pada akhir tahun 1990-an. Kebanyakan bekas pesakit pulang ke kampung halaman dan membina kehidupan baharu masing-masing. Terdapat juga sebilangan bekas pesakit juga yang mahu terus menetap di hospital kerana sudah terputus hubungan dengan keluarga selama beberapa dekad.\nAkhirnya, pihak hospital mengusahakan penempatan semula di sebuah kampung baharu yang mendapat kelulusan geran tanah daripada kerajaan negeri Sarawak. Kampung tersebut dinamakan Kampung Sinar Baru yang terletak hanya beberapa meter daripada hospital.\nSejarah penyakit kusta memberikan kesan yang negatif kepada masyarakat Sarawak, termasuklah berpisah dengan keluarga mengikut perundangan akta negeri dan menghadapi stigma daripada khalayak umum walaupun setelah pulih sepenuhnya daripada penyakit tabu itu. Generasi baharu perlulah mengambil pengajaran daripada kisah penyakit kusta, terutamanya dalam menangani penyakit endemik yang wujud pada bila-bila masa." "Penulisan Karya Sains dan Teknologi dalam Bahasa Melayu Perlukan Minat, Kreativiti dan Kepekaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 yang kini kembali menemukan para pencinta ilmu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Umum telah menganjurkan sesi bual bicara menerusi slot \u201cKarya Sains dan Teknologi dalam Bahasa Melayu, Mudahnya\u201c yang bertujuan memberikan panduan kepada khalayak bagi menjadikan karya sains dan teknologi dapat dimanfaatkan oleh masyarakat di seluruh dunia.\nSesi bual bicara yang berlangsung selama satu jam itu menampilkan Timbalan Ketua Pengarah (Program Teknikal), Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zain selaku pembicara, manakala Perancang Bahasa DBP, Puan Rabi\u2019ahtuladawyah Md. Saleh sebagai moderator.\n\u00a0\n\u201cKarya sains dan teknologi itu dihasilkan daripada suatu fenomena yang bermula daripada pengamatan kejadian yang berlaku di sekeliling kita dan melibatkan ilmu sains,\u201d kata YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zain ketika memulakan sesi bual bicara berkenaan.\nMenurut beliau, penulisan dalam karya sains dan teknologi sudah semestinya mempunyai cabarannya, namun perkara yang paling penting ialah minat, kreativiti dan sejauh mana seseorang itu peka terhadap fenomena alam yang menjadi ilmu sains.\nDorongan untuk menulis itu adalah berdasarkan pengalaman yang sedia ada dan dijadikan cerita tanpa memikirkan sesuatu yang sangat kompleks serta menghubungkan proses kognitif itu, yakni proses memperoleh pengetahuan kognisi melalui maklumat yang diterima oleh persekitaran, pembelajaran dan pembudayaan untuk menghasilkan sesebuah karya sains dan teknologi yang baik.\nDalam sesi bual bicara tersebut juga, beliau turut berkongsikan karya fiksyen sains rujukan beliau, iaitu novel Pedang Aurora nukilan penulis sains fiksyen dan fantasi di Malaysia, yakni Ahmad Patriya Abdullah yang menarik perhatian dan memberikan idea kepada beliau untuk terus berkarya.\nMenjawab persoalan cara bagi suatu karya fiksyen sains itu dapat digarap menjadi suatu karya yang realisitik dan bukan sekadar angan-angan, beliau menjelaskan bahawa karya fiksyen sains sebenarnya cuba untuk menghubungkan sains yang realistik dengan jangkaan sains pada masa hadapan dan penemuan baharu yang ditemukan oleh para saintis, misalnya.\nBerdasarkan kenyataan tersebut, hal ini bermakna terdapat teori sains yang sebenar, namun tidak dapat dibuktikan kecuali pembuktian itu dilakukan menerusi bentuk penulisan.\nBeliau meneruskan tirai perkongsiannya dengan menyatakan bahawa setiap karya sains dan teknologi yang dihasilkan biasanya akan ditulis dalam bentuk penceritaan dan sasaran pembacanya ialah masyarakat umum.\nPerkara yang paling penting ketika berkarya ialah penulisan tersebut mencapai tujuan penulisan itu sendiri, menulis dengan gaya penulisan yang tidak terlalu kompleks, menggunakan bahasa dan istilah yang mudah agar pembaca boleh memahami kandungan keseluruhan penulisan tersebut.\nBeliau juga menegaskan bahawa elemen sains dan teknologi tidak mengganggu estetika dalam karya jika penulis cakna dengan matlamat penceritaan yang ingin disampaikan kepada sasaran pembaca dan penggunaan bahasa serta istilah yang sesuai supaya tidak merosakkan nilai estetika dalam karya yang dihasilkan.\nSeorang penulis yang baik perlu memiliki disiplin ilmu yang tersendiri, yakni merujuk sumber tertentu apabila mahu menghasilkan suatu karya yang faktanya tepat dan berkualiti.\nSebelum berakhirnya sesi bual bicara tersebut, beliau sempat berkongsikan beberapa panduan untuk berkarya dalam bidang sains dan teknologi dengan menggalakkan masyarakat menjadikan tabiat menulis itu sebagai satu budaya, memupuk minat menulis dalam diri dan berkarya secara santai bagi memudahkan suatu proses penulisan.\nBeliau juga menyatakan bahawa penulis perlu mempunyai elemen sokongan seperti penulisan haruslah melalui suatu kaedah atau proses yang teratur bagi mengelakkan penulisan itu hanya sekadar curahan idea semata-mata tanpa ada penambahbaikan daripada pihak tertentu dan memastikan bahan rujukan yang digunakan mestilah mendapat persetujuan daripada penulis atau sumber asal bahan bagi mengelakkan timbulnya isu plagiat dan sebagainya.\nTurut hadir meraikan sesi bual bicara berkenaan ialah Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah, YBrs. Puan Hajah Noriyani Yusoff, para penyelidik daripada Agensi Nuklear Malaysia dan pengunjung PBAKL 2023.\nKredit gambar dan video (rujukan): Adib dan Nizam Adhaa, DBP." "MYSA Jalin Kerjasama dengan JPS bagi Memperkasakan Penggunaan Teknologi Angkasa dalam Pengurusan Sumber Hutan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2013 Selari dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti yang direncanakan di bawah Program Eksplorasi Angkasa Malaysia 2030 (MSE2030), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) bagi memperkasakan kerjasama penggunaan teknologi angkasa dan penderiaan jauh dalam pengurusan sumber hutan secara lestari, khususnya di kawasan Hutan Simpan Negeri Sabah.\nSkop kerjasama tersebut adalah merangkumi pemantauan dan pemetaan kawasan berhutan di seluruh negeri Sabah berteraskan teknologi angkasa yang merupakan satu pendekatan baharu dalam pengurusan sumber hutan dan pendigitalan maklumat perhutanan.\nBerdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh MYSA, beberapa pakej Sistem Aplikasi telah dibangunkan melalui kerjasama ini untuk membantu pihak JPS dalam pengurusan sumber hutan, iaitu Sistem iForSABAH bagi pengurusan dan pemantauan litupan hutan serta Sistem e-PESISIR yang memfokuskan pemantauan kawasan pesisiran pantai negara.\nDalam membantu pihak JPS dalam membuat pemetaan dan pengemaskinian litupan hutan secara tepat dan berkala setiap dua tahun sejak tahun 2010, penggunaan teknologi angkasa sangat memberikan impak yang penting dalam pengurusan sumber hutan.\nSementara itu, pengoperasian sepenuhnya sistem aplikasi yang dibangunkan juga telah mengurangkan kos operasi di lapangan hingga 40 peratus dan menjimatkan masa pelaksanaan kerja.\nDalam majlis pemeteraian MoU berkenaan, Ketua Pengarah MYSA, YBrs. Gs. Haji Azlikamil Napiah dan Ketua Konservator Hutan Sabah, YBhg. Datuk Frederick Kugan telah menyempurnakan acara menandatangani dokumen MoU tersebut." "Kinabalu Geopark Diiktiraf sebagai UNESCO Global Geopark yang Kedua di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kinabalu Geopark diiktiraf sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp) yang kedua di Malaysia selepas Langkawi Geopark berdasarkan keputusan oleh Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Paris pada 25 Mei 2023 bersama-sama 17 geopark yang lain.\nKinabalu Geopark berkeluasan 4750 kilometer persegi yang meliputi daerah Kota Belud, Kota Marudu dan sebahagian daerah Ranau mempunyai 46 geotapak, 12 biotapak dan lapan tapak budaya serta diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan pada 18 Mac 2020.\n\u201cPengiktirafan ini ialah pencapaian negara yang amat bermakna, terutamanya kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memelihara kelestarian alam semula jadi dan pengurusan mampan kawasan UNESCO Global Geopark yang memiliki nilai kepentingan antarabangsa seiring dengan Agenda Pembangunan Negara dan Matlamat Pembangunan Lestari 2030 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,\u201d kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yang Berhormat (YB) Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan.\nKinabalu Geopark diuruskan oleh Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah dengan kerjasama pemegang taruh yang lain serta telah menjalani penilaian oleh panel penilai rangkaian UNESCO Global Geopark pada 18 Julai 2022 hingga 21 Julai 2022.\nPengiktirafan Kinabalu Geopark sebagai UGGp telah mengangkat nama Malaysia sebaris dengan beberapa negara yang diberikan jolokan sebagai negara penyandang \u201cTriple Crown\u201d program UNESCO berikutan kejayaan tersebut telah melengkapkan ketiga-tiga program UNESCO di negeri Sabah, iaitu World Heritage Site, Man and the Biosphere dan UNESCO Global Geopark.\nTahniah diucapkan kepada Kerajaan Negeri Sabah melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Pejabat Daerah Ranau, Kota Belud dan Kota Marudu, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah di atas pengiktirafan tersebut.\nYB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan tersebut juga menyatakan bahawa kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri dapat memastikan kawasan geopark diurus dengan baik dan mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama di kawasan yang mempunyai kepentingan geologi bagi tujuan penyelidikan saintifik, pendidikan, penjanaan ekonomi penduduk setempat dan pembangunan mampan.\nSokongan yang berterusan akan diberikan kepada kerajaan negeri untuk mencalonkan geopark kebangsaan lain yang memenuhi kriteria Global Geopark di bawah UNESCO bagi mendapatkan pengiktirafan pada peringkat antarabangsa yang seterusnya." "Kelab Audiologi, FSK, UKM Menyantuni Anak-anak Pekak ke Petrosains\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebanyak 22 orang kanak-kanak pekak dari Taska dan Tadika Istika Jaya Orang Kurang Upaya (OKU) Pendengaran, Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) telah bersama-sama dalam lawatan sambil belajar ke Petrosains, The Discovery Centre, semalam bersempena dengan Sambutan Bulan Kesedaran Pendengaran dan Pertuturan (BHS).\nProgram anjuran Kelab Audiologi, Program Audiologi, Fakulti Sains Kesihatan (FSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kampus Kuala Lumpur yang diketuai oleh Muhammad Zikri Kamarulzaman ini turut melibatkan sebanyak 16 orang pelajar prasiswazah daripada Kelab Audiologi yang bertindak sebagai pemudah cara dan dibantu oleh guru pengiring serta jurubahasa isyarat.\nMenurut Penasihat Kelab Audiologi dan Penasihat Program, Profesor Madya Dr. Nor Haniza Abdul Wahat, pada kebiasaannya, BHS disambut dengan aktiviti saringan dan pemeriksaan pendengaran dan pertuturan.\n\u201cNamun begitu, pada tahun ini, program lawatan dianjurkan untuk meningkatkan cakna dalam kalangan bakal graduan audiologi terhadap kanak-kanak pekak,\u201d jelasnya lagi.\nAktiviti inklusif yang dianjurkan ini diharapkan meninggalkan impak yang mendalam kepada bakal ahli audiologi dalam meningkatkan kesedaran tentang anak-anak pekak. Dengan kepelbagaian aktiviti di Petrosains, saya juga berharap program ini dapat membudayakan kecintaan terhadap bidang sains dan teknologi dalam kalangan anak-anak pekak.\nSementara itu, Presiden MFD, Encik Mohamad Sazali Shaari mengucapkan terima kasih kepada penganjur program kerana begitu komited untuk sentiasa melibatkan anak-anak pekak dalam aktiviti yang dianjurkan.\n\u201cSaya amat berharap dengan adanya aktiviti ini, bakal ahli audiologi khasnya dan golongan masyarakat amnya akan mengambil inisiatif untuk mempelajari bahasa isyarat bagi memudahkan dan meluaskan komunikasi dampak dengan golongan pekak,\u201d ujarnya.\nProgram ini turut didokong oleh Penasihat Bersama bagi program ini, Profesor Madya Dr. Cila Umat di samping menerima tajaan daripada Persatuan Audiologis Kebangsaan Malaysia (MANSA), syarikat SoundLife Hearing dan syarikat Perfect Hearing.\nSambutan BHS disambut pada Mei setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat tentang kepentingan penjagaan dan pemeriksaan pendengaran dan pertuturan." "UKM Bantu Orang Pekak Memahami Pemakanan Sihat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Sebanyak 20 orang pekak daripada Persatuan Orang Pekak Selangor Darul Ehsan (POPSDE) telah menyertai program pendidikan kesihatan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang pekak untuk mengamalkan pemakanan sihat.\nProgram yang dianjurkan oleh pasukan penyelidik yang diketuai oleh Pensyarah Kanan Program Pendidikan Khas, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Syar Meeze Mohd Rashid ini turut melibatkan aktiviti saringan kesihatan kepada orang pekak.\nMenurut Dr. Syar Meeze Mohd Rashid yang turut memainkan peranan sebagai jurubahasa isyarat untuk menerangkan maklumat pemakanan sihat yang disampaikan oleh pelajar program Dietetik, UKM, keadaan orang pekak atau individu yang mempunyai masalah pendengaran, terutamanya hal yang berkaitan dengan komunikasi adalah tidak sama dengan orang biasa.\nMereka menghadapi kesukaran untuk memperoleh maklumat pemakanan sihat daripada ceramah, radio ataupun video kerana mereka tidak dapat mendengar bunyi atau maklumat yang disampaikan dalam format audio.\nTerangnya lagi, kini, kebanyakan maklumat pemakanan sihat yang disampaikan oleh pakar pemakanan tidak mempunyai bahasa isyarat.\n\u201cOleh hal yang demikian, kumpulan kami berusaha menghasilkan video pemakanan sihat yang mempunyai bahasa isyarat yang sangat jelas bagi membantu golongan ini memahami mesej yang ingin disampaikan,\u201d tambahnya lagi.\nSementara itu, pelajar Program Dietetik, UKM, Farisah Najwa Zaman berkata bahawa beliau berasa teruja apabila mendapat peluang untuk menyampaikan maklumat pemakanan sihat kepada golongan upaya pendengaran ini selain berasakan program seumpama ini dapat memberikan impak yang signifikan kepada komuniti tertentu.\nSementara itu, Presiden POPSDE, Puan Siti Mahnum Dato\u2019 Mohd Mansor mengucapkan terima kasih kepada penganjur program yang sudi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan dan amalan pemakanan sihat kepada ahlinya.\n\u201cSaya amat berharap program yang bermanfaat ini dapat diteruskan bagi membantu lebih ramai orang pekak di Malaysia,\u201d ujarnya.\nProgram pendidikan kesihatan ini juga melibatkan sebanyak dua orang pelajar prasiswazah daripada Program Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan, UKM yang bertindak sebagai pemudah cara." "ICaRehab, UKM Santuni Lebih 1000 Penduduk Negeri Sembilan melalui Program Kualiti Kehidupan dari Sudut Kesihatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNegeri Sembilan \u2013 \u00a0Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas (ICaRehab), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah menyantuni penduduk kampung di Jelebu, Kuala Pilah, Rembau dan Jempol melalui pelaksanaan projek \u201cKualiti Kehidupan dari Sudut Kesihatan\u201d bagi meninjau dan menyaring tahap kesihatan penduduk kampung berkenaan serta perkaitannya dengan kualiti kehidupan.\nProgram yang diterajui oleh Pengerusi Pusat ICaRehab, YBrs. Profesor Madya Dr. Nor Azlin Mohd Nordin bersama-sama rakan penyelidik multidisiplin dan pelajar fisioterapi daripada UKM ini ialah hasil cetusan idea daripada pihak MAINS sebagai sebahagian daripada usaha untuk menambah baik perkhidmatan sedia ada kepada masyarakat Islam di daerah tersebut.\nProgram tersebut bukan sahaja memberikan pendedahan kepada penduduk kampung tentang kepentingan menjaga kesihatan dan mengetahui tahap kesihatan diri, malah program ini dapat memperkenalkan bidang fisioterapi dan sains rehabilitasi lain yang terdapat di UKM kepada masyarakat di luar bandar.\n\u201cProgram seumpama ini memberikan banyak manfaat kepada penduduk kampung, terutamanya bagi meningkatkan tahap kesedaran dan kepentingan dalam menjaga kesihatan,\u201d kata Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ampang Tinggi, Kuala Pilah, Tuan Haji Mahadi Wamin.\nSetakat ini, hampir 1000 orang penduduk kampung telah terlibat dalam program berkenaan dan sebanyak 500 orang lagi akan disantuni dalam tempoh yang terdekat.\nPada masa yang sama, para pelajar fisioterapi yang terlibat dalam program berkenaan memperoleh pendedahan tentang pengurusan kesihatan awam, menimba pengalaman berinteraksi bersama-sama komuniti sebelum\u00a0 memasuki alam pekerjaan, meningkatkan kemahiran komunikasi, keyakinan diri dan kemahiran mengurus serta menambahkan nilai terhadap sesi pembelajaran pelajar melalui tugasan di lapangan selain menghadiri kuliah di universiti.\nPelaksanaan program yang menyantuni komuniti kampung ini dapat mengeratkan ukhwah antara warga UKM dengan masyarakat di Negeri Sembilan dan mengukuhkan lagi aspirasi UKM selaku universiti watan di negara ini.\nTurut terlibat dalam program tersebut ialah beberapa orang pengerusi dan ahli jawatankuasa MPKK serta penghulu mukim yang bertindak selaku pemudah cara dalam program berkenaan." "Peranan Kerajaan dalam Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Diplomasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Seruan menggunakan bahasa Melayu sebagai satu daripada bahasa utama dalam hubungan diplomasi di negara ASEAN yang diutarakan oleh yang Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob merupakan satu langkah berani. Menerusi tema \u201cBahasa Melayu sebagai Bahasa Diplomasi\u201c dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu, sebanyak empat orang panel diundang dalam Sidang 5, yang dipengerusikan oleh Prof. Dr. Mohd Kamarulnizam Abdullah. Mereka\u00a0 menyampaikan idea yang berkaitan dengan peranan kerajaan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa diplomasi di peringkat antarabangsa khususnya di peringkat serantau.\nPeranan bahasa Melayu sebagai bahasa diplomasi telah sudah lama terlaksana. Sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa diplomasi sewaktu zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Walau bagaimanapun, peranan itu telah dimbil alih oleh bahasa penjajah dan masyarakat tempatan telah menerima keadaan ini secara meluas sehingga peranan bahasa Melayu ini semakin dilupakan. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi dalam hal yang berkaitan dengan urusan kerajaan dan hal ini menjadi medium untuk mendaulatkan bahasa.\nMenurut Datuk Iskandar Sarudin dari Malaysia, untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu sama ada sebagai bahasa diplomasi atau lebih luas daripada itu, masyarakat Malaysia boleh mengguna pakai kaedah sedia ada yang dipakai oleh semua negara dalam usaha mengantarabangsa bahasa ibunda masing-masing.\nPemimpin negara dan penjawat awam wajib menggunakan bahasa Melayu dalam hal yang berkaitan dengan pentadbiran ataupun urusan rasmi kerajaan. Hal ini mendorong Malaysia mengambil inisiatif yang lebih berani dan agresif dalam memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa. Malaysia tidak memerlukan masa yang panjang untuk merealisasikan pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa diplomasi untuk medium antarabangsa dengan memantapkan lagi institusi penterjemahan.\nPanel undangan kedua, yang juga dari Malaysia, iaitu Datuk Zainal Abidin Datuk Wira Borhan menekankan peranan guru bahasa dalam melebarluaskan bahasa Melayu di peringkat serantau mahupun antarabangsa. Guru bahasa yang berkhidmat di luar negara perlu memainkan peranannya sebagai wakil negara untuk mendidik masyarakat tempatan terhadap penggunaan bahasa Melayu.\nMereka juga perlulah komited untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu di luar negara dengan bergerak lebih aktif dalam usaha memperkenalkan bahasa Melayu melalui pendidikan dan budaya tempatan. Oleh hal yang demikian, sokongan daripada pihak kerajaan diperlukan bagi menyuntik dana yang mencukupi\u00a0 bagi menyokong serta menyebarluaskan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Kerajaan juga perlu memastikan Kursi yang diwujudkan di negara luar terus memainkan peranannya dalam menyokong usaha mengantarabangsakan peranan bahasa Melayu dalam konteks diplomasi.\nPenyataan ini turut dipersetujui oleh panel seterusnya, iaitu Profesor Dr. James T. Collin dari Amerika Syarikat, yang menyatakan tentang peranan guru bahasa dalam pengantarabangsaan dan penyebaran bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa dan diplomasi. Walau bagaimanapun, menurut beliau, peranan guru bahasa dari negara luar yang menguasai bahasa Melayu penting dalam usaha untuk menyebarluaskan penggunaan bahasa ini di negara mereka sendiri. Beliau turut menyokong usaha untuk melantik guru bahasa dari negara luar untuk mengajar di institusi pendidikan luar negara sebagai satu medium penting pendiplomasian bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Kerajaan Malaysia disarankan untuk mengembangkan pengantarabangsaan bahasa Melayu melalui program yang mantap dari pelbagai bidang bagi memajukan dan menarik minat orang luar untuk belajar bahasa Melayu di Malaysia.\nPemantapan dan pendidikan guru bahasa dari negara luar merupakan satu kaedah yang mantap untuk menyebarluaskan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Di samping itu, sokongan padu daripada kerajaan untuk memantapkan program sedia ada serta menyuntik dana yang mencukupi mampu merealisasikan impian bahasa Melayu sebagai bahasa diplomasi yang utama.\nBagi Prof. Madya Dr. Ismaillutfi Japakiya dari Thailand, bahasa Melayu di Pattani masih dipertahankan walaupun dengan kemasukan bahasa luar yang kian berkembang di sana. Pengekalan penggunaan aksara Jawi masih utuh sebagai satu medium pemartabatan bahasa Melayu\u00a0khususnya\u00a0di wilayah selatan Thailand. Beliau menyatakan pengharapannya agar kerajaan Malaysia memperbanyak program bahasa Melayu secara dua hala dengan wilayah selatan Thailand bagi mengekalkan dan memantapkan bahasa tersebut. Hal ini demikian kerana usahasama ini akan dapat menyuburkan dan memajukan bahasa Melayu di kedua-dua negara." "Lawatan Akademik ke Bahagian Kawalan Penyakit dan CPRC Dedah Pengurusan DOCE\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Sebanyak 32 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama-sama dua orang pegawai pengiring telah mengadakan lawatan akademik ke Bahagian Kawalan Penyakit dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC) di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Putrajaya bagi memperoleh pengetahuan dan pendedahan lebih lanjut tentang fungsi bahagian berkenaan.\nBahagian Kawalan Penyakit ialah satu daripada lima bahagian yang terletak di bawah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan Malaysia, selain Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam, Bahagian Pendidikan Kesihatan dan Bahagian Pemakanan.\nSecara umumnya, Bahagian Kawalan Penyakit bertanggungjawab dalam menyelaras aspek pengurusan kawalan penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit yang berlaku di negara ini pada peringkat kebangsaan, manakala CPRC pula berperanan sebagai penyelaras, pusat arahan dan koordinasi bagi aktiviti kesiapsiagaan dan tindak balas terhadap kejadian wabak penyakit berjangkit, kecemasan, krisis dan bencana (DOCE) pada peringkat kebangsaan.\nKewujudan dan peranan CPRC tersebut mula dikenali dan mendapat perhatian daripada orang ramai berikutan wabak COVID-19 yang melanda dunia dan negara ini sekitar tahun 2020.\nSesi taklimat dimulakan dengan penerangan ringkas berkenaan dengan sejarah aktiviti kawalan penyakit di Malaysia yang bermula seawal tahun 1960-an sehinggalah kewujudan Bahagian Kawalan Penyakit tersebut pada peringkat kebangsaan yang disampaikan oleh Pegawai Kesihatan Persekitaran daripada Sektor Informasi dan Dokumentasi, Encik Azhar Ismail.\nSeterusnya, sesi taklimat tersebut juga menerangkan berkenaan dengan fungsi dan peranan khusus Bahagian Kawalan Penyakit dalam aspek pengurusan kawalan penyakit berjangkit seperti Human Immunodeficiency Virus (HIV) atau sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS), tibi, hepatitis C, kusta, penyakit kaki tangan dan mulut, demam campak, denggi, malaria, leptospirosis dan penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, diabetes, darah tinggi dan kanser.\nSesi taklimat kedua yang disampaikan Pegawai Kesihatan Persekitaran daripada Sektor Kawalan Tembakau, Puan Hajjah Ummi Nadiah Yussof pula menjelaskan tentang tugas dan peranan Pegawai Kesihatan Persekitaran, khususnya di Bahagian Kawalan Penyakit, KKM bagi memberikan kefahaman dan pengetahuan kepada para pelajar yang bakal menjawat jawatan tersebut setelah tamat pengajian kelak.\nPegawai Kesihatan Persekitaran daripada Sektor Kawalan Zoonosis, Puan Rabiatul Jannah Mohamad pula berkongsikan maklumat tentang isu semasa epidemiologi dan kawalan penyakit semasa yang sedang berlaku di negara ini dan mendedahkan statistik kejadian penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit yang telah dilaporkan bagi tahun semasa serta menunjukkan perbandingan kadar kejadian penyakit berbanding dengan tahun yang lalu dalam sesi taklimat tersebut.\nMenurut beliau, perbandingan kadar kejadian penyakit adalah penting untuk melihat corak dan trend kejadian sesuatu penyakit bagi menilai faktor risiko yang berkemungkinan berlaku dan seterusnya membolehkan perancangan yang sewajarnya dilakukan bagi membolehkan langkah kawalan dilaksanakan dengan segera.\nSemasa lawatan tersebut, para pelajar berpeluang melawat ke CPRC yang berperanan dalam merancang pembangunan sumber insan, peralatan perlindungan diri, ubat-ubatan dan vaksin agar mencukupi sambil diselia oleh Pegawai Kesihatan Persekitaran daripada Sektor Pengurusan Wabak, Bencana, Krisis dan Kecemasan, Encik Muhammad Lutfi Ahamad Pudzi.\nCPRC turut menjalankan aktiviti penilaian risiko, penilaian pantas dan tindak balas pantas yang beroperasi selama 24 setiap hari dan hanya wujud pada peringkat kebangsaan dan peringkat negeri, manakala pusat arahan dan kawalan kejadian bencana, wabak, krisis dan kecemasan pada peringkat daerah dinamakan sebagai Bilik Gerakan.\nCPRC berfungsi dalam dua mod, iaitu pasif dan aktif, yakni semasa berada dalam mod pasif, aktiviti lebih tertumpu kepada penilaian risiko, kesiapsiagaan, survelan, komunikasi risiko dan latihan, manakala semasa dalam mod aktif, aktiviti CPRC lebih tertumpu kepada pusat arahan, tindakan dan koordinasi kejadian bencana, wabak, krisis dan kecemasan.\nDalam keadaan pasif, CPRC beroperasi selama 24 jam. Daripada pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang, operasi adalah di CPRC, manakala semua panggilan akan dijawab oleh pegawai yang bertugas secara atas panggilan selepas pukul 5.00 petang." "Pembakaran Terbuka Berskala Besar Punca Jerebu Tempatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Berdasarkan rekod Jabatan Alam Sekitar (JAS), bilangan kes pembakaran terbuka bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 25 Mei 2023 adalah sebanyak 1845 kes dan lima kes daripadanya ialah kebakaran berskala besar yang melibatkan hutan tanah gambut, tapak pelupusan sampah dan tapak pelupusan sampah haram sekali gus mengakibatkan berlakunya jerebu tempatan.\nKini, negara berada dalam fasa monsun barat daya yang bermula sejak 15 Mei 2023 dan dijangkakan berterusan hingga September 2023 yang mengakibatkan negara mengalami kekurangan taburan hujan, peningkatan suhu dan cuaca yang lebih panas serta kering menyebabkan jerebu tempatan dan jerebu merentas sempadan boleh berlaku sekiranya kebakaran terbuka tidak dikawal.\n\u201cSebanyak empat kes kebakaran telah berjaya dipadamkan sepenuhnya dan semua jabatan, agensi serta kerajaan negeri yang terlibat perlu mempertingkatkan tindakan pencegahan pembakaran terbuka bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang semula,\u201d kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yang Berhormat Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan.\nSusulan itu, JAS telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan 236 arahan lapangan atau amaran, 28 kompaun, 58 notis arahan dan satu tindakan mahkamah terhadap pihak yang melakukan kesalahan pembakaran terbuka bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 25 Mei 2023.\nMenurut rekod JAS bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 25 Mei 2023, sebanyak 101 kes aduan telah dilaporkan yang melibatkan pembakaran terbuka di tapak pelupusan sampah haram di seluruh negara.\nBagi menangani pembakaran terbuka di tapak pelupusan sampah haram ini, komitmen daripada semua pihak sangat diperlukan dengan melibatkan kerjasama bersama-sama pihak berkuasa tempatan dalam membanteras kewujudan tapak pelupusan sampah haram yang menjadi punca kepada pencemaran, terutamanya dalam kes yang melibatkan pembakaran terbuka, pencemaran air dan pelupusan bahan buangan berbahaya.\nOleh yang demikian, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dengan kerjasama kementerian, jabatan dan agensi berkaitan serta kerajaan negeri akan mengambil tindakan yang serius bagi membanteras kewujudan tapak pelupusan sampah haram dan isu kebakaran di kawasan tersebut.\nBerikutan kes tapak pelupusan sampah haram berhampiran dengan Twin Palms, Sungai Long, JAS sedang melengkapkan kertas siasatan bagi kesalahan melakukan pembakaran terbuka mengikut Seksyen 29A, larangan ke atas pembakaran terbuka, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 (Akta 127) yang memperuntukkan denda hingga RM500 ribu atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.\nSelain itu, Majlis Perbandaran Kajang pula sedang melakukan tindakan lanjut berhubung dengan kes tapak pelupusan sampah haram di Black Water Lake, Bandar Mahkota, Cheras.\nKerajaan sentiasa mempertingkatkan usaha pencegahan aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan jerebu tempatan dan menjejaskan kualiti udara serta kesihatan awam.\nDalam kenyataan media tersebut juga, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka, terutamanya di kawasan mudah terbakar seperti di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah.\nJika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 29A, Akta 127, iaitu melibatkan kompaun hingga RM2000 bagi setiap kesalahan atau didakwa di mahkamah dengan denda maksimum sebanyak RM500 ribu atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.\nSebarang aktiviti pembakaran terbuka yang mencemarkan alam sekitar boleh dilaporkan di talian 1-800-88-2727 yang beroperasi selama 24 jam sehari atau e-mel aduan tersebut ke [email\u00a0protected] atau melalui portal e-aduan JAS." "Memupuk Budaya Inovasi melalui Penerapan Pemikiran Reka Bentuk\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nApabila mendidik generasi muda zaman kini, antara elemen yang tidak dapat ditolak untuk diterapkan dalam aktiviti seharian mereka ialah pemikiran kreatif dan kritis. Kedua-dua elemen ini merupakan unsur penting bagi membentuk masyarakat yang berinovasi. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, inovasi bermaksud sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem adat dan lain-lain.\nInovasi amat penting dalam perkembangan zaman yang sentiasa berlakunya perubahan dengan cepat. Antara perkara utama bagi memupuk inovasi termasuklah minda dan ilmu.\nDalam buku Think and Grow Rich karya Napoleon Hill, perkara yang paling utama dalam pembentukan inovasi ialah minda dan pemikiran seseorang. Jadi, guru boleh bermula dengan menerapkan kaedah yang sesuai kepada pelajar untuk mereka berinovasi. Apabila pelajar didedahkan dengan kaedah yang betul, mereka akan mampu berdaya saing pada masa hadapan.\nDewasa ini, kita dapat melihat beberapa perusahaan yang terkemuka di dalam mahupun di luar negara sentiasa berinovasi untuk menghasilkan produk yang menepati cita rasa pelanggan. Tanpa inovasi, sesebuah syarikat berpotensi besar untuk ketinggalan jauh ke belakang. Oleh sebab itu, tidak salahlah jika sejak awal remaja lagi, anak-anak mula didedahkan dengan konsep pemikiran reka bentuk atau design thinking.\nKonsep pemikiran reka bentuk telah terbukti memberikan keuntungan kepada beberapa syarikat besar di dunia seperti Apple, Google, Samsung dan Ford. Antara nama besar yang berkaitan dengan konsep ini termasuklah Richard Buchanan, Tim Brown dan Bill Moggridge.\nKonsep pemikiran reka bentuk beerti cara berfikir yang membantu menginovasi dan menyelesaikan masalah seperti mereka bentuk produk yang dapat menyelesaikan masalah pengguna dan selamat untuk digunakan.\nDalam slot awal pengajaran inovasi, guru boleh menunjukkan contoh rekaan syarikat tertentu yang mengaplikasikan konsep pemikiran reka bentuk. Guru digalakkan untuk mendapatkan maklum balas daripada pelajar tentang pembaharuan yang telah dibuat terhadap produk yang terbaharu di pasaran.\nKepentingan pemikiran reka bentuk harus didasarkan kepada tiga perkara utama, iaitu manusia, keusahawanan dan teknologi. Untuk manusia, pelajar harus difokuskan terhadap pengalaman pengguna kerana perkara ini menjadi tunjang dalam memenangi hati manusia sebagai pelanggan untuk membeli dan menggunakan sesuatu produk.\nKeusahawanan pula menjurus kepada persaingan dan kajian pasaran bagi memastikan produk yang dihasilkan bertahan lama. Teknologi harus dilihat sebagai sesuatu yang memudahkan tugas manusia dan seelok-eloknya perkara ini berkaitan dengan Revolusi Perindustrian 4.0.\nTerdapat pelbagai model pemikiran reka bentuk dalam pendekatan inovasi. Antaranya termasuklah Stanford d.school Design Thinking, Zurb Design Thinking Model,\u00a0 The Google Design Spirit Process dan sebagainya.\nPada pandangan penulis, Stanford d.school Design Thinking sesuai digunakan untuk pelajar peringkat menengah. Dalam aspek ini, guru boleh menggunakan contoh masalah yang sesuai dengan tahap pemikiran pelajar.\nTerdapat lima proses pemikiran reka bentuk, iaitu empati, mengenal pasti atau menentukan masalah, pembentukan idea, prototaip dan pengujian. Untuk proses empati, pelajar perlu meletakkan diri mereka sebagai pengguna untuk merasai pengalaman sebagai pengguna produk itu sendiri. Proses pertama ini juga memberikan tumpuan kepada penyelidikan berpusatkan pengguna\nProses penentuan masalah pula melibatkan analisis daripada pemerhatian daripada peringkat pertama. Mentakrifkan masalah dan pernyataan masalah mesti dilakukan dengan berpusatkan manusia.\nDalam proses yang keempat, yakni pembentukan idea, pereka perlu bersedia menjana idea dan mencari penyelesaian yang tepat. Pereka perlu melihat masalah dari perspektif yang berbeza dan memikirkan penyelesaian inovatif untuk pernyataan masalah yang dikemukan.\nSelepas itu, proses prototaip perlu dijalankan dengan membangunkan satu model atau objek bagi memastikan adakah idea tersebut dapat menyelesaikan masalah pengguna. Dalam aspek ini, faktor kos perlu dititikberatkan dan penggunaan konsep smart adalah amat digalakkan.\nYang terakhir, iaitu proses pengujian pula merangkumi pengambilan data ketika menjalankan ujian. Pengujian membantu memberikan keputusan sama ada produk yang dicipta itu dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelanggan.\nKetika sesi pembentangan produk inovasi, guru digalakkan untuk menyediakan senarai semak persembahan pemikiran reka bentuk yang meliputi lakaran produk, tujuan produk dibina, pernyataan masalah, penyelesaian masalah, kumpulan sasaran pelanggan, struktur kos dan keunikan produk yang dibina berbanding dengan produk lain di pasaran.\nSetiap nilai yang dibentangkan perlu disertakan dengan pernyataan yang kukuh supaya pelajar benar-benar memahami setiap nilai yang terdapat dalam inovasi yang dibangunkan. Guru juga harus menggalakkan pelajar lain untuk memberikan pandangan. Pelajar juga perlu belajar untuk menerima kritikan dan berusaha membuat penambahbaikan kerana ciri ini terkandung dalam nilai seorang penginovasi.\nDiharapkan dengan kaedah pemikiran reka bentuk ini dapat menjadikan anak-anak Malaysia lebih kritis, kreatif dan membantu pembangunan Malaysia untuk menjadi sebuah negara pengeluar dan bukannya negara pengguna semata-mata.\nHarus diingatkan bahawa kaedah pemikiran reka bentuk turut mempunyai beberapa kelemahan, namun pada peringkat permulaan seperti golongan pelajar dan golongan yang ingin membuka permulaan perniagaan (startup business), elemen ini merupakan langkah yang tepat untuk diamalkan sebagai pendekatan penyelesaian masalah!" "Sikap Bertanggungjawab dan Berhemah Penting dalam Menjaga Kelestarian Alam Sekitar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSik \u2013 Penganjuran Program Kesedaran mengenai Larangan Pembakaran Terbuka dan Pengurusan Buangan Elektrik dan Elektronik anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang berlangsung di Kolej KEDA Rimba Taqwa Perangin, Sik, Kedah bertujuan mendidik masyarakat agar menjadi lebih bertanggungjawab dan berhemah dalam menjaga kelestarian alam sekitar.\nProgram tersebut diadakan berikutan masih terdapat banyak pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan pembakaran terbuka sehingga menyebabkan pencemaran udara.\n\u201cMenerusi program seumpama ini, para peserta mendapat ilmu tambahan mengenai kesan buruk daripada pembakaran terbuka dan pembuangan bahan elektrik dan elektronik sama ada pembuangan tersebut dilakukan di tepi rumah, di dalam sungai dan kawasan lain,\u201d kata salah seorang urus setia program tersebut, Puan Yusniza Yusop.\nSepanjang program berkenaan berlangsung, para peserta berpeluang menimba pengetahuan menerusi ceramah yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Pertanian Negeri Kedah, Puan Naziroh Nayan, Penolong Pengarah Kanan (Operasi) JAS Negeri Kedah, Encik Mohd Faizal Ab Jalil dan Penolong Pegawai Kawalan Kanan JAS Negeri Pulau Pinang, Puan Faizah Md Arshad.\n\u201cPembakaran terbuka dan pembuangan bahan elektrik dan elektronik yang mengandungi toksik tanpa pemantauan mendorong masyarakat terdedah kepada pelbagai risiko kesihatan dan setiap aktiviti yang dilaksanakan oleh JAS bagi menangani masalah itu perlu diberikan sokongan sepenuhnya,\u201d ujar Timbalan Pengurus Besar Operasi KEDA, Encik Khairul Azmeer Abu Bakar ketika merasmikan program tersebut.\nPada masa yang sama, penanaman pokok buluh madu di beberapa buah lokasi termasuklah di Campsite Damai, Lubuk Badak, Rimba Rekreasi Lata Mengkuang dan KEDA Resort Bendang Man telah diadakan.\nSebanyak 210 orang peserta yang terdiri daripada usahawan, petani, pelajar dan peserta di bawah wilayah selian KEDA telah menyertai program tersebut bersempena dengan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2023." "Pengambilan Ubat Tingkatkan Risiko Penyakit Berkaitan dengan Haba?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJabatan Meteorologi Malaysia meramalkan negara akan berdepan dengan fenomena El Nino hingga September ini. Fenomena ini mengakibatkan jumlah hujan yang turun akan berkurangan serta cuaca menjadi panas dan kering.\nKeadaan ini dikhuatiri memberikan kesan terhadap tahap kesihatan orang ramai. Tambahan pula, baru-baru ini seorang kanak-kanak telah dilaporkan meninggal dunia akibat strok haba. Oleh sebab itu, orang ramai harus didedahkan tentang penyakit berkaitan dengan haba, termasuklah punca, faktor risiko dan langkah pencegahannya.\nKelesuan Haba dan Strok Haba \nKelesuan haba dan strok haba ialah dua keadaan utama yang tergolong sebagai penyakit berkaitan dengan haba. Kedua-dua keadaan ini berlaku apabila seseorang individu terdedah kepada suhu yang tinggi secara berterusan sehingga menyebabkan dehidrasi.\nSekiranya keadaan ini tidak dirawat segera, seseorang yang mengalami kelesuan haba berisiko untuk mendapat strok haba, iaitu apabila suhu badannya meningkat secara drastik hingga melebihi 41 darjah Celcius.\nKedua-dua keadaan ini terjadi apabila seseorang itu terdedah kepada kombinasi beberapa faktor risiko secara berpanjangan. Melakukan aktiviti fizikal ketika cuaca panas dan kering dalam tempoh yang lama merupakan punca utama penyakit berkaitan haba.\nDi samping itu, kelesuan dan strok haba turut dikaitkan dengan umur seseorang. Kanak-kanak berusia empat tahun dan ke bawah serta warga emas adalah lebih berisiko kepada kedua-dua keadaan tersebut.\nBukan itu sahaja, kemungkinan mengalami penyakit berkaitan dengan haba meningkat sekiranya seseorang itu menghidap penyakit seperti diabetes, hipertensi dan sakit jantung atau sedang mengambil ubat-ubatan yang mudah menyebabkan dehidrasi.\nSelain itu, individu yang berlebihan berat badan, merokok atau mengambil alkohol secara kronik juga berisiko lebih tinggi mengalami kelesuan atau strok haba. Masalah fungsi hati dan buah pinggang juga merupakan faktor risiko bagi sesetengah individu lain.\nPenggunaan Ubat yang Meningkatkan Risiko Penyakit Berkaitan dengan Haba\nSesetengah ubat berkemungkinan menyebabkan kesan peningkatan suhu badan melalui beberapa mekanisme tindakan. Peningkatan suhu badan boleh terjadi akibat kesan sesuatu ubat terhadap pusat pengawalan suhu badan di otak, keluaran jantung (cardiac output), vasodilasi atau vasokonstriksi, kadar perpeluhan, fungsi buah pinggang serta status hidrasi dan elektrolit tubuh.\nWalau bagaimanapun, kesan peningkatan suhu badan turut dipengaruhi oleh faktor persekitaran atau tahap kesihatan seseorang. Bahkan, terdapat juga kemungkinan bahawa penyakit berkaitan dengan haba boleh berlaku walaupun seseorang itu tidak mengambil sebarang ubat-ubatan.\nAntara ubat yang berisiko menyebabkan peningkatan suhu badan termasuklah ubat daripada kumpulan diuretik, penghalang beta (beta blocker) dan penghalang saluran kalsium (calcium channel blockers). Ubat-ubatan ini digunakan dalam rawatan hipertensi dan penyakit kardiovaskular yang lain.\nUbat kumpulan diuretik berpotensi menyebabkan dehidrasi, manakala ubat penghalang beta dan penghalang saluran kalsium memberikan kesan terhadap denyutan nadi dan kemampuan jantung untuk mengepam darah.\nSelain ubat diuretik, dehidrasi mungkin berlaku kepada individu yang mengambil ubat sembelit atau julap secara berpanjangan. Hal in terjadi kerana ubat jenis ini menyebabkan penyingkiran air secara berlebihan daripada badan.\nSelain itu, risiko mengalami penyakit berkaitan dengan haba turut dipengaruhi oleh pengambilan ubat-ubatan yang bertindak terhadap sistem saraf pusat. Antaranya termasuklah ubat kumpulan antipsikotik, benzodiazepina serta ubat antikemurungan seperti lithium, selective serotonin reuptake inhibitor dan tricyclic antidepressants.\nKebanyakan ubat daripada kumpulan ini memberikan kesan kepada pusat pengawalan suhu badan di otak dan mempengaruhi cara badan bertindak terhadap perubahan suhu badan. Kedua-dua kesan ini memperlahankan proses penyejukan secara semula jadi oleh badan.\nAlkohol dan ubat kumpulan antihistamin juga berkemungkinan meningkatkan suhu badan. Alkohol yang diambil secara berlebihan dapat mengganggu daya penumpuan dan kebolehan seseorang mentafsirkan rangsangan haba serta menyebabkan pengembangan salur darah.\nAntihistamin yang sering digunakan untuk gejala alahan dan selesema pula akan menyebabkan kesan penguncupan salur darah dan seterusnya melambatkan proses penyejukan semula jadi badan.\nSelain ubat-ubatan, pengambilan produk untuk penurunan berat badan seperti karnitina dan ekstrak teh hijau pula berupaya meningkatkan penghasilan haba dalam badan. Kesan ini terhasil akibat peningkatan kadar metabolisme badan.\nNasihat kepada Pesakit dan Orang Awam\nWalaupun beberapa jenis ubat diketahui dapat meningkatkan risiko penyakit berkaitan dengan haba, pengambilan ubat-ubat tersebut masih perlu diteruskan mengikut arahan doktor atau ahli farmasi.\nPesakit tidak sepatutnya mengurangkan dos atau berhenti mengambil ubat secara sendiri, terutamanya bagi ubat-ubatan penyakit kronik. Sekiranya terdapat kerisauan tentang kemungkinan mengalami penyakit berkaitan dengan haba, pesakit dinasihatkan supaya berbincang dan mendapatkan pandangan doktor yang merawat.\nDi samping itu, pesakit disarankan untuk mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko mendapat penyakit berkaitan dengan haba. Antara perkara utama yang boleh dilakukan termasuklah memastikan tahap hidrat badan sentiasa mencukupi.\nSelain air kosong, minuman isotonik tanpa gula boleh dijadikan pilihan kerana minuman ini membantu mengembalikan elektrolit dan mineral yang diperlukan oleh badan. Pengambilan minuman manis, berkafein dan alkohol hendaklah dikurangkan.\nPesakit juga dinasihatkan agar mengehadkan atau mengurangkan tempoh dan intensiti aktiviti luar yang hendak dilakukan. Jika boleh, jadualkan aktiviti tersebut pada waktu yang lebih redup.\nSekiranya perlu keluar dari rumah, penggunaan produk pelindung suria sangat digalakkan. Krim pelindung cahaya matahari dengan SPF15 atau lebih misalnya, membantu melindungi kulit daripada terik cahaya matahari.\nSapukan krim kepada bahagian tubuh yang terdedah dengan cahaya matahari sebelum keluar daripada rumah. Penggunaan secara konsisten dapat memberikan kesan perlindungan yang lebih efektif. Selain itu, penggunaan payung dan topi juga digalakkan.\nSebagai kesimpulannya, selain faktor persekitaran dan keadaan badan, penyakit berkaitan dengan haba boleh terjadi akibat pengambilan sesetengah ubat tertentu. Sehubungan dengan itu, individu yang sedang mengambil ubat-ubat ini hendaklah mendapatkan pandangan ahli profesional kesihatan untuk memastikan ubat dapat diambil untuk rawatan penyakit, di samping mengurangkan risiko penyakit berkaitan dengan haba.\nSekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).\n\u00a0\nPenulis: Mohd Shahiri Abd Ghapar, Pegawai Farmasi, Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.\nDisemak oleh: Siti Nurul Fathiah Baharudin, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Penggunaan Ubat Berkualiti, Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia." "Kenyir Geopark Diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kenyir Geopark diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan yang kesembilan di bawah Program Pembangunan Geopark oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).\nMelalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh NRECC hari ini, pengiktirafan ini telah dilakukan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan Bilangan 1 Tahun 2023 yang diadakan pada 30 Mei 2023.\nTaman geologi ini mengandungi sebanyak 15 geotapak yang bertaraf antarabangsa, kebangsaan dan tempatan, 10 biotapak, 11 tapak budaya dan satu tapak geoarkeologi.\nAntara nilai utama Kenyir Geopark termasuklah ciri utama morfologi karst Bukit Bewah yang wujud di atas tasik yang berwarna kehijauan yang memberikan nilai estetika yang tinggi kepada kawasan ini selain kewujudan pelbagai jenis fosil marin, terutama Shikamaia sp. (kerang gergasi) berusia 250 juta tahun di dinding batu kapur ini yang memberikan nilai tambah kepada Bukit Bewah.\nPenemuan kerangka manusia prasejarah yang berusia 16 ribu tahun menjadikan Bukit Bewah sebagai geotapak bertaraf antarabangsa di samping penemuan fosil kesan tapak kaki dinosaur dan fosil tumbuhan di Gunung Gagau.\nSelain itu, penemuan beberapa spesies flora dan fauna endemik seperti Thismia terengganuensis (flora), Kenyirus sodhii (siput) dan penemuan artifak arkeologi seperti Batu Bersurat Terengganu menjadi komponen sumber asli penting dalam penubuhan geopark.\nPengiktirafan ini ialah pengiktirafan Geopark Kebangsaan yang kesembilan selepas Lembah Kinta dan Lenggong Geopark di Perak; Jerai Geopark di Kedah; Kinabalu Geopark di Sabah; Labuan Geopark di Wilayah Persekutuan Labuan, dan Sarawak Delta Geopark di Sarawak, Gombak- Hulu Langat Geopark di Lembah Klang serta Stong Geopark di Kelantan.\nKenyir Geopark dengan keluasan 2449 kilometer per segi meliputi sebahagian daerah Hulu Terengganu yang dibentuk oleh pelbagai jenis batuan, mineral, struktur, landskap dan fitur geologi unik hasil daripada proses geologi yang berlaku kira-kira 360 juta tahun yang lalu." "SPAN Aktifkan Bilik Gerakan bagi Memastikan Kelestarian Perkhidmatan Bekalan Air\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013 Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengaktifkan bilik gerakan bagi menyelia dan memastikan kelestarian perkhidmatan bekalan air di Semenanjung Malaysia dan Labuan susulan fenomena El-Nino yang diramal bermula bulan ini dan dijangkakan berakhir pada 30 September 2023.\nObjektif penubuhan bilik gerakan tersebut adalah untuk memantau secara rapi situasi empangan dan sungai yang membekalkan sumber air mentah kepada 354 buah loji rawatan air.\n\u201cBilik gerakan itu juga berperanan menyelia operasi pembekalan air bersih secara berterusan kepada pengguna dan memastikan operator bekalan air mengambil langkah kawalan dan mitigasi sekiranya berlaku krisis kawalan air di negeri masing-masing,\u201d kata SPAN dalam satu kenyataan.\nWalau bagaimanapun, tempoh pengoperasian bilik gerakan berkenaan tertakluk kepada perkembangan terkini impak fenomena El-Nino kepada Malaysia dan berkemungkinan dilanjutkan atau disingkatkan bergantung pada pengumuman rasmi oleh kerajaan dari semasa ke semasa.\nPara pengguna juga dinasihatkan agar menggunakan air bersih secara berhemat bagi memastikan kelestarian bekalannya dan disarankan untuk berhubung dengan operator air di negeri masing-masing sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan atau maklum balas mengenai perkhidmatan air ketika berlakunya fenomena El-Nino.\nSPAN turut menyediakan saluran komunikasi dan perkongsian maklumat melalui talian 019-7795000 atau e-mel menerusi [email\u00a0protected] serta orang awam juga boleh melayari laman sesawang SPAN\u00a0bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan hal ini." "Pemangku Raja Perlis Zahir Ucapan Tahniah atas Penganjuran Perlis Green Hour 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada Jabatan Perhutanan Negeri Perlis kerana menganjurkan program Perlis Green Hour 2023.\nProgram penanaman pokok secara besar-besaran dalam tempoh satu jam ini melibatkan seluruh penduduk di negeri Perlis yang melibatkan pelbagai kumpulan.\nPemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan kepada semua yang terlibat, khususnya agensi yang berkaitan supaya tidak menjadikan aktiviti penanaman sebanyak 150 354 pokok baru-baru ini sebagai aktiviti sekali saja.\nSebaik-baiknya, aktiviti menjaga, menyiram dan membaja pokok tersebut perlu diteruskan supaya matlamat program Penghijauan Malaysia untuk memperbaik ekosistem dan biodiversiti negara dapat dicapai.\nDemikian titah DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli Khas bersempena dengan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis Tahun 2023 dan Hari Ulang Tahun Keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis Ke-80 yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.\nSebagai simbolik, Baginda juga berkenan menanam pokok kemuning di hadapan Dewan Serbaguna Bukit Ayer.\n\u00a0\nMenurut Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Awang Shaffie Awang Ahmadni, kemuning atau nama saintifiknya Murraya paniculata ialah pokok yang sering dijadikan pokok landskap kerana bentuk silaranya yang menarik dan mudah dibentuk.\n\u201cKayu pokok ini pula gemar dijadikan hulu dan sarung keris kerana mempunyai urat yang cantik sebagai corak semula jadi,\u201d jelasnya lagi,\nSebelum memulakan program, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan melancarkan perkhidmatan kenderaan serba rupa bumi (ATV) di Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat yang dikendalikan oleh Aziz Man Enterprise hasil kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.\nSyarikat yang berpusat di Taman Eko-Rimba Bukit Ayer tersebut turut menyediakan trem mini dan basikal elektrik untuk kemudahan para pengunjung.\nSementara itu, Jabatan Pertanian Negeri Perlis Timbalan Pengarah Pembangunan Industri dan Pengembangan, Jabatan Pertanian Negeri Perlis, Mohd Nizam Abdul Aziz mempersembah maklum kepada DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bahawa pada masa ini jabatannya sedang dalam usaha untuk membangunkan lapan jenis durian kampung yang terpilih untuk dijadikan sebagai Durian Kampung Premium Perlis.\nMenurutnya lagi, bagi menyelesaikan masalah sumber air dalam industri penanaman durian, Jabatan Pertanian Negeri juga membantu para petani dalam pembinaan perigi tabung.\nSelain itu, Jabatan Pertanian Negeri mengeluarkan baja organik yang dipanggil Vermikompos yang boleh memberikan kesuburan kepada tanah dan pokok, meningkatkan imuniti pokok, melawan serangan serangga perosak dan penyakit serta nutrien tersedia yang mudah diserap terus oleh tumbuhan." "Kaedah 20-20-20 Bantu Atasi Gejala Tegangan Mata Digital\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLedakan teknologi dengan percambahan pelbagai jenis peranti digital ataupun gajet dalam pasaran menyebabkan setiap daripada kita, tanpa mengira lapisan umur, tidak terlepas daripada penggunaannya dalam kehidupan sehari-hari. Kebergantungan pada teknologi ini adalah sangat tinggi, terutamanya dalam fasa pandemik COVID-19 dan berterusan hingga kini akibat pendigitalan aktiviti pembelajaran, pekerjaan, perniagaan dan sebagainya.\nPenggunaan gajet dalam jangka masa panjang kerap dikaitkan dengan isu mata penat atau tegangan mata digital (digital eye strain). Tegangan mata digital lazimnya memberikan kesan seakan-mata mata kering dan penat selepas menggunakan gajet dalam tempoh tertentu.\nKajian menunjukkan bahawa golongan dewasa, terutamanya anak muda mempunyai prevalens pelaporan mata kering akibat penggunaan gajet hingga 80 peratus. Tegangan mata digital terjadi kerana mata akan terus terfokus kepada skrin dan mengurangkan kadar kelipan mata semasa penggunaan gajet tersebut.\nGejala dan Tanda Tegangan Mata Digital\nSimptom mata yang dikaitkan dengan tegangan mata digital ialah kerengsaan pada mata, kekeringan, ketidakselesaan dan mungkin memberikan rasa sensitif terhadap cahaya. Gejala lain termasuklah penglihatan kabur, keletihan mata, sakit mata, sakit kepala, penglihatan berganda atau diplopia dan kesukaran untuk memfokuskan gajet yang dilihat dengan baik.\nKebanyakan gejala ini ialah masalah biasa yang dilaporkan oleh pesakit. Namun begitu, tanda klinikal pada mata seperti kadar kelipan mata yang berkurangan dan penandaan pendarfluor kornea yang menunjukkan kawasan kekeringan pada mata boleh dikesan dengan pemeriksaan oleh ahli optometri.\n\u00a0\nOleh itu, pemeriksaan mata komprehensif perlu dijalankan untuk mengesan masalah tegangan mata digital bagi mendapat rawatan yang bersesuaian dengan masalah ini.\nLangkah Pencegahan dengan Kaedah 20-20-20\nKaedah 20-20-20 boleh dijadikan sebagai panduan untuk membantu mengurangkan ketegangan mata dan ketidakselesaan yang disebabkan oleh penggunaan gajet seperti komputer, telefon pintar dan tablet yang berpanjangan.\nSecara ringkasnya, kaedah 20-20-20 ini menggalakkan pengguna gajet untuk kerap berehat dan sesekali mengubah fokus kepada objek yang jauh untuk mengekalkan kesihatan mata semasa penggunaan gajet.\nSeseorang itu perlu mengalihkan pandangan daripada skrin gajet sekurang-kurangnya selama 20 saat kepada objek yang jauh sekurang-kurangnya 20 kaki selepas setiap 20 minit penggunaan gajet secara berterusan.\nKaedah ini membantu mengurangkan ketegangan otot yang mengawal pergerakan mata semasa melihat pada jarak dekat dan membantu memfokuskan semula pandangan mata untuk mengelakkan keletihan, kekeringan dan ketidakselesaan mata.\nSelain kaedah 20-20-20, terdapat langkah lain yang boleh diamalkan untuk mengelakkan masalah tegangan mata digital ini. Pencahayaan sekitaran semasa menggunakan gajet perlu diambil perhatian agar silau pada skrin gajet dapat dikurangkan.\nPenggunaan komputer, tablet atau telefon pintar perlu berada pada jarak dan sudut yang selesa daripada mata. Beberapa pelarasan teknikal seperti kecerahan, kontras dan saiz huruf paparan juga boleh dilakukan untuk mengurangkan simptom ketegangan mata digital.\nLangkah pencegahan lain yang boleh diamalkan termasuklah berkelip dengan kerap dengan kelipan mata penuh serta menggunakan ubat titisan mata pelincir untuk membantu mengurangkan kekeringan dan kerengsaan mata.\nMenggabungkan kesemua kaedah ini dalam rutin harian membantu memastikan mata kekal sihat dan selesa walaupun dengan penggunaan gajet yang berpanjangan. Namun begitu, jika anda mengalami gejala yang berterusan, anda disarankan berunding dengan ahli optometri berhampiran untuk mendapatkan nasihat tentang cara mengurangkan ketegangan mata dan mendapatkan pilihan rawatan yang sesuai.\nSebagai kesimpulannya, ketegangan mata digital ialah masalah mata yang semakin kerap dilaporkan pada masa ini dan boleh menjejaskan produktiviti. Walau bagaimanapun, dengan mengamalkan kaedah 20-20-20 untuk mendapatkan rehat berkala, melaraskan tetapan gajet dan mengamalkan kesihatan mata yang baik, anda boleh mengurangkan ketegangan mata dan meningkatkan keselesaan mata anda secara keseluruhan.\n\u00a0\nDr. Mizhanim Mohamad Shahimin, Pensyarah Kanan dan Ketua Program Optometri dan Sains Penglihatan, Pusat Kajian Kesihatan Komuniti (ReaCh), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia." "KKM Nasihat Sebarang Penggunaan Produk Merokok Berbahaya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai bahawa sebarang penggunaan produk merokok termasuklah rokok elektronik adalah berbahaya kepada kesihatan.\nDalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh KKM, \u00a0seorang kanak-kanak perempuan Melayu berumur dua tahun\u00a0 berkemungkinan mengalami keracunan nikotin pada 30 Mei 2023 di daerah Bera, Pahang.\nKanak-kanak tersebut ketika ditemukan oleh datuknya pada hari kejadian mengalami gejala batuk, muntah dan sesak nafas, namun tidak mempunyai sejarah penyakit kronik.\nKanak-kanak itu dipercayai tersedut atau tertelan cecair daripada peranti rokok elektronik jenis pakai buang kerana didapati alat berkenaan terletak di atas lantai berhampiran dengannya.\nMenurut kenyataan yang sama, semasa dalam rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh, Pahang, kanak-kanak tersebut dilaporkan mengalami sawan sebanyak dua kali dan kini keadaannya adalah stabil dan mampu bernafas tanpa bantuan alat pernafasan sambil dipantau oleh pihak hospital.\nKeputusan ujian air kencing yang dilakukan menunjukkan kehadiran nikotin pada paras yang tinggi dan kanak-kanak berkenaan disahkan menghidapi acute life threatening event secondary to possible alleged nicotine ingestion complicated with seizure.\nKeracunan nikotin akibat penggunaan tembakau atau cecair rokok elektronik boleh menyebabkan kesan akut seperti jantung sentiasa berdebar-debar, muntah dan sawan yang boleh berlaku kepada semua golongan termasuklah kanak-kanak.\nKesan nikotin yang tinggi serta pendedahan nikotin untuk jangka masa panjang, terutamanya kepada kanak-kanak turut menyebabkan pertumbuhan otak terjejas." "Ekonomi Dipacu, Bahasa Melayu di Mercu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sejarah tercipta apabila wadah bicara ilmiah diangkat sebagai satu agenda besar untuk memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat negara dan antarabangsa. Bahasa Melayu yang selama ini didendangkan dengan kegemilangan masa lalu akan diberi roh yang bukan sahaja akan menghidupkan semangatnya, malah menjulangkannya tinggi ke awan, seterusnya menerbangkannya merentasi seluruh pelosok dunia oleh pahlawan bahasa. Seiring dengan itu, berpencak silatlah segala pahlawan bahasa ini di Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang diadakan pada 22 Mei hingga 24 Mei 2022 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur.\nDaripada enam gelanggang yang dibuka pada hari ini, satu gelanggang memfokuskan isu \u201cBahasa Melayu dan Ekonomi\u201d. Dengan dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Hanif Yaacob dari Universiti Putra Malaysia, para panel berkongsi pandangan seperti Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai dan Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul dari Malaysia berserta dengan Prof. Dr. Tan Xiao dari China dan Haji Yatiman Yusof dari Singapura.\nSebagai pemula bicara, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai dengan bangganya menyatakan bahawa bahasa Melayu digunakan oleh lebih 300 juta pengguna. Dalam dunia digital baharu, bahasa Melayu digunakan oleh lebih 34% pengguna Internet dengan kadar pertumbuhan tahunan yang melebihi 25%. Penggunaannya yang sangat meluas ini dipengaruhi oleh sifat keluwesan bahasa Melayu yang menjadikannya mudah mengadaptasi dan diadaptasi di seluruh dunia. Bahasa Melayu dipaksa berkembang dengan kadar pesat dengan mengadaptasikan banyak istilah. Pada masa yang sama, pengadaptasian istilah ini diterima dengan sangat baik oleh ilmuan dan pengamal dalam bidang istilah tersebut.\nNamun begitu, beliau turut menegaskan bahawa terdapat cabaran besar yang perlu dihadapi oleh pahlawan bahasa untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai lingua franca buat kali kedua. Cabaran pertama ialah kepercayaan, keyakinan dan minat untuk memajukan bahasa Melayu sebagai lingua franca. Cabaran ini memerlukan usaha yang berterusan dengan cara meneroka dunia media baharu dan mengurangkan penonjolan bahasa Inggeris.\n\u201cCabaran kedua pula ialah sokongan semua pihak, khususnya pemerintah, kerajaan dan perkhidmatan awam di seluruh pelosok negara. Cabaran besar ini memerlukan komitmen yang mengatasi aspek politik dan populariti. Seterusnya, cabaran ketiga adalah untuk mengatasi isu semantik dan sikap bangga anak bangsa. Penggunaan bahasa Melayu ini dilihat sebagai menggunakan bahasa rasmi Malaysia dan keadaan ini tidak boleh diterima di negara kepulauan Melayu, seperti Indonesia, Brunei, Kemboja dan Thailand.\nBagi Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul pula, bahasa Melayu telah mencapai kesempurnaan yang amat tinggi dalam pelbagai domain kehidupan, seperti kehidupan bermasyarakat, pentadbiran negara, ekonomi dan perniagaan. Hal ini terbukti apabila bahasa Melayu memiliki martabat sebagai bahasa besar dalam bidang ekonomi dalam tempoh melebihi satu alaf. Beliau menyuarakan keyakinannya bahawa tidak mustahil bagi bahasa Melayu untuk kembali bersinar di persada antarabangsa.\nProf. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul menyenaraikan beberapa strategi yang perlu dilaksanakan untuk melestarikan bahasa Melayu. Antara strategi yang diutarakan termasuklah memperbanyak penterjemahan buku ekonomi dalam bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu dan memantau bidang penyiaran dan media massa, terutamanya bahasa pengiklanan secara berterusan. Selain itu, beliau juga mengemukakan strategi dari segi meningkatkan program latihan dan pembangunan dalam organisasi tentang kepentingan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan ekonomi dan perniagaan.\nPembentangan pada sidang keempat ini agak unik apabila pembentang ketiga, iaitu Prof. Dr. Tan Xiao membentangkan kertas kerjanya secara maya. Hal ini membuktikan bahawa jarak bukanlah alasan untuk bersama-sama berkongsi idea dan cadangan untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu ini. Pembentang ini berkongsi tentang Ujian Pengiktirafan Penterjemahan Cina (CATTI) yang dilaksanakan di China sebagai suatu bentuk pensijilan. Pelancaran CATTI Bahasa Cina Bahasa Melayu pula bakal membawa impak yang besar, sama ada di China atau Malaysia.\nMenurut Prof. Dr. Tan Xiao lagi, pelajar bahasa Melayu antarabangsa di China mengalu-alukan kemasukan bahasa Melayu dalam CATTI ini. Kemasukan ini menyebabkan pelajar tersebut teruja dan meningkatkan motivasi pembelajaran. Ada pelajar yang teruja dengan pengantarabangsaan bahasa Melayu yang menyebabkan permintaan bahasa Melayu meningkat di seluruh dunia, seterunya membuka lebih banyak peluang untuk memilih pekerjaan dalam pasaran tenaga kerja semasa.\nPembentang terakhir, iaitu Haji Yatiman Yusof pula sangat gembira dan berbangga dengan penganjuran simposium ini kerana simposium ini menjadi titik permulaan bagi usaha bersama antara negara serantau untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu. Namun begitu, beliau mengingatkan khalayak bahawa momentum pengantarabangsaan bahasa Melayu ini masih tidak disokong oleh kegiatan yang padu dari negara serantau.\nBeliau turut mengutarakan beberapa langkah untuk membantu mengantarabangsakan bahasa Melayu. Antara langkah yang paling penting termasuklah meminggirkan isu yang menimbulkan perdebatan, terutamanya antara negara serantau. Perdebatan ini tidak baik dalam usaha pengantarabangsaan bahasa Melayu. Beliau juga menjadikan contoh negara Amerika Syarikat dan Kanada yang tidak bertelagah, sebaliknya sepakat untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa negara. Oleh sebab itu, pembentang ini menekankan kesatuan dalam mencari jalan keluar daripada segala perbezaan yang ada antara bahasa Melayu dengan bahasa Indonesia." "Racun Rumpai Berpotensi Merosakkan DNA Pekerja Ladang Kelapa Sawit\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMalaysia ialah satu daripada negara pengeluar minyak kelapa sawit yang terbesar di seluruh dunia. Oleh hal yang demikian, pelbagai inisiatif telah dirancang dan dijalankan untuk meningkatkan produktiviti penghasilan minyak kelapa sawit.\nNamun begitu, terdapat sesetengah ladang kelapa sawit cenderung menggunakan racun kawalan makhluk perosak di dalam ladang supaya kuantiti kelapa sawit dapat dijaga untuk menghasilkan buah kelapa sawit yang berkualiti tinggi. Racun yang digunakan untuk mengawal makhluk perosak, sama ada racun serangga ataupun racun rumpai mempunyai bahan kimia yang berbahaya kepada kesihatan manusia.\nRacun yang sering digunakan di ladang kelapa sawit ialah racun rumpai. Kesan pendedahan pekerja ladang kelapa sawit kepada racun rumpai dalam tempoh masa yang panjang boleh menyebabkan kerosakan asid deoksiribonukleik (DNA).\nPenggunaan racun rumpai merupakan satu daripada teknik kawalan rumpai di ladang selain cara mekanikal dan biologikal. Namun begitu, pendedahan pekerja kepada racun rumpai berpotensi memberikan kesan genotoksik, iaitu kerosakan DNA.\nRacun rumpai merupakan campuran bahan kimia yang digunakan untuk mengawal pertumbuhan rumpai, pokok renek dan pokok berdaun lebar. Semua racun rumpai akan dicampurkan dengan air terlebih dahulu sebelum disemburkan kepada rumpai.\nRacun rumpai yang dijual di pasaran boleh didapati dalam pelbagai jenis. Secara ringkasnya, racun rumpai terbahagi kepada tiga jenis, iaitu racun pra-cambah (pre-emergence), racun sentuh dan racun sistemik.\nDi Malaysia, racun rumpai yang biasa digunakan do ladang kelapa sawit ialah racun rumpai jenis glifosat dan paraquat seperti racun Roundup dan CS Paraquat 13. Racun rumpai ini sentiasa dikendalikan oleh pekerja di ladang kelapa sawit semasa proses penghantaran, penyimpanan, pencampuran dan penyemburan.\nPendedahan racun rumpai terhadap pekerja ladang kelapa sawit berlaku melalui tiga cara, iaitu melalui liang kulit, saluran pernafasan atau udara dan melalui pengingesan ketika makan atau minum. Sebagai contohnya, apabila aktiviti semburan racun dijalankan, pekerja yang terlibat ataupun mana-mana individu yang berada di sekitar kawasan tersebut akan terdedah kepada semburan racun dan terkena pada badan, terutamanya apabila semburan dijalankan pada arah bertentangan angin.\nSemburan racun rumpai juga boleh terbias pada permukaan makanan atau minuman yang tidak ditutup rapi dan terlalu dekat dengan kawasan semburan. Hal ini akan menyebabkan masalah keracunan melalui pengingesan.\nSelain itu, permukaan kulit juga boleh terdedah kepada racun rumpai apabila terdapatnya tumpahan pada pakaian atau secara langsung kepada kulit.\nKerosakan DNA adalah lebih tertumpu kepada ketidaknormalan bilangan dan struktur kromosom manusia seperti perubahan kromosom, pertukaran kromatid serta pembentukan mikronukleus. Perubahan bilangan kromosom ialah kesan daripada proses mitosis yang berlakunya pemisahan kromosom, manakala perubahan struktur kromosom pula berlaku akibat pembaikan serta pemulihan secara tidak betul pada DNA yang telah rosak.\nPerubahan kromosom seperti perubahan struktur dan perubahan bilangan adalah berkait rapat dengan pembentukan tumor dan kemungkinan menyebabkan kanser. Pendedahan kepada racun rumpai dalam tempoh masa yang lama berpotensi menyebabkan kerosakan DNA dan mengakibatkan masalah penyakit kronik seperti kanser.\nSatu kajian telah dijalankan di Ladang Kelapa Sawit ASPA, Pekan, Pahang dengan mengumpulkan sel bukal pekerja ladang kelapa sawit untuk mengesan kerosakan DNA melalui asai mikronukleus. Pembentukan mikronukleus menunjukkan keralatan berlaku pada saat mitosis semasa anafasa. Jadi, peningkatan frekuensi mikronukleus per 1000 sel menunjukkan peningkatan kesan kerosakan DNA.\nHasil kajian tersebut menunjukkan bahawa pekerja yang bekerja di ladang mempunyai frekuensi mikronukleus yang lebih tinggi berbanding dengan pekerja di pejabat. Hal ini disebabkan oleh kadar pendedahan pekerja ladang kepada racun rumpai adalah lebih tinggi berbanding dengan pekerja pejabat. Jadi, kajian ini membuktikan pendedahan kepada racun rumpai boleh menyebabkan kerosakan sel DNA yang berkemungkinan menyebabkan kanser.\nTahap dedahan kepada racun rumpai ini dapat dikurangkan dengan membaca label pada botol racun secara teliti sebelum digunakan. Selain itu, pekerja perlu mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994) yang telah diwajibkan kepada semua pekerja untuk memakai alat perlindungan diri yang sesuai dan lengkap seperti memakai sarung tangan getah, penutup mulut dan hidung, baju berlengan panjang, kasut getah, pelindung mata seperti gogal dan apron plastik sepanjang proses pengendalian racun rumpai.\nPenyemburan racun rumpai juga mestilah dilakukan dengan mengikut arah tiupan angin supaya tidak terkena pada badan atau pakaian. Pakaian yang digunakan dalam aktiviti ini perlu dibersihkan dengan segera. Racun rumpai juga perlu disimpan dalam ruang yang berkunci serta disimpan jauh daripada makanan dan orang ramai.\nSebagai kesimpulannya, majikan perlu memastikan bahawa pekerja ladang kelapa sawit seharusnya mengurangkan tahap dedahan kepada racun rumpai bagi mengurangkan risiko kerosakan DNA yang boleh memberikan kesan kesihatan jangka masa panjang seperti penyakit kanser.\n\u00a0\nProfesor Madya ChM. Dr. NormahAwang dan Dr. Nurul Farahana Kamaludin, Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Kampus Kuala Lumpur." "Lawatan ke Pusat Inovasi 3M Malaysia Sdn. Bhd. Mendedahkan Ilmu PPE kepada Mahasiswa UKM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Sebanyak 32 orang pelajar Tahun Tiga, Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Kuala Lumpur telah menyertai program \u201cFit Seminar\u201d yang diadakan di Pusat Inovasi 3M Malaysia Sdn. Bhd., Bukit Jelutong, Shah Alam yang bertujuan memberikan pendedahan kepada para pelajar tentang pelbagai jenis kelengkapan perlindungan diri (PPE) terkini yang dihasilkan agensi berkenaan.\nPara pelajar diiringi oleh lima orang kakitangan program termasuklah seorang pensyarah yang merupakan Penyelaras Kursus Higen Industri, iaitu YBrs. Profesor Madya ChM. Dr. Normah Awang.\n\u201cSeminar yang diadakan ini adalah amat penting kepada pelajar kerana maklumat mengenai penggunaan, penjagaan dan penyelenggaraan PPE seperti respirator, pelindung pendengaran peribadi dan pelindung mata akan disampaikan oleh penceramah,\u201d kata Penyelaras Kursus Higen Industri, YBrs. Profesor Madya ChM. Dr. Normah Awang ketika berucap dalam \u201cFit Seminar\u201d tersebut.\n\u201cPihak 3M Malaysia Sdn. Bhd. amat berbesar hati menerima kunjungan daripada para pelajar. Dengan adanya penyertaan seperti ini menunjukkan bahawa pihak universiti menyambut baik dan memberikan sokongan kepada penghasilan produk PPE baharu yang dihasilkan oleh pihak kami,\u201d kata Pakar Jualan Kanan 3M Malaysia Sdn. Bhd., Encik Fahriszaki Paimon.\nSeminar yang berlangsung selama dua jam itu telah membincangkan empat topik utama berkaitan dengan PPE, iaitu respirator, pelindung pendengaran peribadi, pelindung mata dan PPE untuk bekerja di tempat yang tinggi dan pada masa yang sama, para pelajar turut diajar cara yang betul tentang penggunaan, penjagaan dan penyelenggaraan bagi kesemua PPE tersebut.\n\u00a0\n\u00a0\nSelain itu, para pelajar juga berkesempatan melawat pavilion yang menempatkan pelbagai produk termasuklah PPE yang telah dihasilkan oleh pihak 3M Malaysia Sdn. Bhd. bagi menjamin keselamatan diri, terutamanya pekerja yang sentiasa terdedah kepada pelbagai bahaya.\nDengan adanya program seumpama ini, para pelajar akan lebih memahami mengenai cara penggunaan, penjagaan dan penyelenggaraan setiap PPE di samping mendapat pelbagai kemahiran dalam menggunakan beberapa jenis PPE yang biasa digunakan oleh pekerja dan pengguna." "Bendung Pertambahan Sisa Makanan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKesedaran orang ramai terhadap isu pembaziran makanan harus diberikan perhatian berikutan peningkatan sisa makanan harian hampir setiap tahun, terutamanya dalam bulan perayaan. Keadaan ini juga seolah-olah sudah menjadi budaya tahunan yang amat membimbangkan.\nDaripada lebih kurang 38 ribu tan metrik sisa yang dikeluarkan pada setiap hari, sebanyak 44 peratus datangnya daripada sisa makanan. Jika dikira jumlah berkenaan, 17 ribu tan metrik sisa terdiri daripada sisa makanan. Perkiraan nilai sisa makanan ini bersamaan dengan tujuh kolam renang Olimpik yang mampu memuatkan semua sisa berkenaan.\nBerdasarkan rekod tahun sebelum ini, sisa makanan yang dibuang meningkat 15 hingga 20 peratus pada bulan Ramadan dan jumlah ini tidak berubah dalam tempoh beberapa tahun lalu. Tahun ini dianggarkan sebanyak 75 240 tan metrik sisa makanan dibuang sepanjang bulan Ramadan, terutamanya daripada juadah ketika berbuka puasa.\nHal ini dapat dikaitkan dengan keseronokan masyarakat membeli juadah yang pelbagai dengan jumlah yang banyak untuk berbuka di bazar Ramadan, selain kecenderungan masyarakat untuk berbuka puasa di hotel dan restoran yang menawarkan menu bufet yang pelbagai citarasa dengan harga yang berbeza.\nSudah pastinya dengan beraneka jenis makanan, timbul kecenderungan untuk makan tanpa had dan mengambil lebih banyak makanan sesuai dengan kadar yang telah dibayar. Sudah pasti, ada makanan yang terbuang dan tidak mampu dimakan semuanya. Ia sekali gus menyumbang kepada peningkatan mendadak kutipan sisa makanan.\nPeningkatan sisa makanan yang dilaporkan menunjukkan kesedaran masyarakat masih di takuk lama. Hal ini juga menunjukkan bahawa matlamat kempen kesedaran untuk mengurangkan pembaziran makanan dalam kalangan masyarakat masih belum tercapai sepenuhnya.\nNatijahnya, tapak pelupusan sampah terus-terusan dibeban dengan pertambahan sisa. Dianggarkan sebanyak 95 peratus daripada sisa yang dikutip dilupuskan di tapak pelupusan sampah. Bakinya pula dihantar ke loji rawatan haba berskala kecil di beberapa negeri.\nHakikatnya, tanpa kaedah atau teknologi pengurusan sisa lain, keperluan terhadap pembinaan tapak pelupusan sampah yang baharu akan terus meningkat dengan peningkatan jumlah kutipan sisa di seluruh Malaysia. Namun begitu, untuk mendapatkan tanah yang sesuai sebagai kawasan tapak pelupusan sampah bukanlah sesuatu yang mudah, terutamanya di bandar kerana masyarakat tidak mahu kemudahan ini terletak berhampiran dengan kediaman.\nPada masa ini, tapak pelupusan sampah merupakan pilihan utama bagi pengurusan sisa di Malaysia kerana infrastruktur sampah tidak dibangunkan dengan baik. Namun begitu, kebergantungan pada tapak pelupusan sampah merupakan kaedah kurang mampan kerana tanah lebih diperlukan untuk tujuan lain seperti pembangunan ekonomi.\nSelain itu, tapak pelupusan sampah menjadi sumber pencemaran kerana sisa buangan biodegradasi dan bukan biodegradasi mengeluarkan gas beracun seperti metana selain proses penguraian yang memakan masa bertahun-tahun lamanya.\nBiarpun negara ini mempunyai tapak pelupusan sampah yang banyak, ruangan yang tinggal lambat-laun akan penuh. Pada kebiasaannya, sesuatu tapak pelupusan sampah boleh bertahan selama 25 tahun.\nYang membimbangkan ialah jangka hayat beberapa tapak pelupusan sampah di beberapa negeri seperti Melaka dan Johor berdepan dengan situasi kritikal akibat peningkatan sisa makanan yang mencecah hampir 17 ribu tan sehari. Jumlah ini melebihi daripada jangkaan dan dibimbangi tapak pelupusan sampat tersebut tidak mampu lagi menampung keperluan semasa.\nMengikut jangkaan asal, sesetengah tapak pelupusan sampah boleh bertahan hingga lima tahun. Namun demikian, kawaasan tersebut sudah semakin sesak dan tenat sehinggakan pasak dinaikkan dan sampah dilonggokkan setinggi yang boleh bagi memaksimumkan ruang yang ada.\nJangka hayat tapak pelupusan sisa pepejal seperti di Bukit Tagar yang dijangkakan boleh bertahan sehingga 50 tahun lagi turut berdepan risiko menjadi lebih singkat sekiranya langkah pengurangan sisa tidak dilakukan dalam kadar segera, apatah lagi dengan bilangan populasi Malaysia yang semakin meningkat setiap tahun.\nOleh hal yang demikian, antara langkah yang dilihat berpotensi untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat adalah dengan menggunakan pendekatan pendidikan. Isi rumah perlu memahami bahawa makanan yang disediakan di rumah menjadi penyumbang terbesar kepada penghasilan sisa makanan berbanding di restoran, hotel atau bazar. Pengintegrasian nilai Islam perlu diterapkan sebagai inisiatif ke arah pengurusan sisa makanan berkesan yang disebabkan oleh sikap yang tidak bertanggungjawab dan budaya membazir.\nDi samping itu, lebih banyak program perlu dijalankan untuk menyemai budaya hemat berbelanja dan mengikis tabiat membazir dalam kalangan masyarakat negara ini yang semestinya perlu dikekang. Satu daripada program yang sepatutnya diperluaskan ke setiap daerah di Malaysia ialah Value Food, No Waste anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp).\nMelalui program ini, beratus-ratus kilogram makanan dan minuman dapat diselamatkan daripada dibuang ke tapak pelupusan sisa pepejal. Lebihan makanan dan minuman tetapi masih boleh dimakan telah diedarkan kepada golongan yang memerlukan hasil kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta peniaga.\nMengikut statistik SWCorp, kira-kira 4086 tan metrik sisa makanan dibazirkan di negara ini yang kebanyakan masih boleh dimakan. Selain itu, secara purata setiap keluarga di negara ini telah membazirkan 500 gram hingga 800 gram makanan yang tidak dimakan." "KBS Lancar Program Malaysia Aktif @ Komuniti Galak Gaya Hidup Sihat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPulau Pinang \u2013 Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan sokongan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mewujudkan satu inisiatif baharu menerusi Program Malaysia Aktif @ Komuniti bagi merealisasikan hasrat membudayakan sukan, khususnya dalam kalangan warga Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Awam (PPA).\nMenteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Hannah Yeoh Tseow Suan telah melancarkan program Malaysia Aktif @ Komuniti bertempat di PPR Taman Bagan Jaya, Butterworth, Pulau Pinang, hari ini.\nBerdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh KBS, program berkenaan yang merangkumi aktiviti senamrobik dan zumba untuk menyemai pembudayaan sukan dalam kalangan masyarakat bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan serta mengukuhkan perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan komuniti sekali gus bertindak sebagai langkah intervensi sosial bagi mengelakkan gejala negatif, terutamanya melibatkan belia dan anak muda.\nSebagai permulaan, program tersebut akan dilakukan pada setiap hari Sabtu atau Ahad selama 30 minggu, yakni sebanyak satu sesi diadakan dalam seminggu yang bermula dari Jun 2023 hingga Disember 2023 dengan sasaran penyertaan keseluruhan sebanyak 36 ribu orang di seluruh negara secara percuma.\nProgram yang menggalakkan gaya hidup sihat ini melibatkan 12 lokasi di enam buah negeri termasuklah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala di Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak pula akan diadakan pada fasa yang seterusnya.\nSebarang pertanyaan atau maklumat lanjut berkenaan dengan program berkenaan, orang awam boleh menghubungi JBSN di talian 03-88713202 atau menghantar e-mel menerusi [email\u00a0protected]." "Mengurus Kesakitan Bahu bagi Pengguna Kerusi Roda\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSakit bahu merupakan masalah yang biasa dialami oleh pengguna kerusi roda yang mengalami kecederaan saraf tunjang. Kesakitan bahu yang dialami akan membataskan aktiviti harian seperti menguruskan diri, bekerja, bersukan dan mempengaruhi kualiti kehidupan.\nPenyebab utama kesakitan bahu bagi pengguna kerusi roda ialah kekerapan melakukan galas berat (weight bearing) seperti memindahkan badan, tekan tubi kerusi roda dan mengayuh kerusi roda. Aktiviti ini memberikan kesan kepada bahu, terutamanya jika pengguna kerusi roda tersebut mempunyai berat badan berlebihan.\nOleh sebab itu, tindakan sewajarnya penting dilakukan bagi mencegah dan mengatasi masalah kesakitan bahu ini. Antara petua dan kaedah pengurusan kesakitan bahu yang wajar dilakukan oleh mereka yang mengalaminya termasuklah:\nPengguna kerusi roda yang mengalami kesakitan bahu harus mendapatkan khidmat nasihat, penilaian dan rawatan daripada pakar pemulihan atau pegawai perubatan agar bahu tersebut dapat diuruskan sewajarnya. Hal ini termasuklah mendapatkan ubat-ubatan antiradang, penilaian, nasihat dan kaunseling.\nPerkhidmatan ini boleh diperoleh di hospital awam dan swasta, hospital universiti, klinik kesihatan awam dan swasta, pusat pemulihan atau agensi kesihatan yang lain.\nRujukan kepada ahli fisioterapi penting untuk memulihkan ketidakseimbangan postur dan otot bagi mengurangkan kesakitan bahu. Ahli fisioterapi akan mengaturkan program spesifik melalui senaman terapeutik, senaman regangan dan kekuatan, modaliti suhu dan elektrik, modifikasi aktiviti dan kaunseling.\nDi samping itu, ahli fisioterapi juga akan membuat penilaian secara berkala terhadap bahu tersebut. Ahli fisioterapi juga akan meningkatkan intensiti, kekerapan dan jenis senaman kepada pesakit.\nPengguna kerusi roda juga haruslah patuh kepada program yang telah diatur oleh ahli fisioterapi bagi mendapatkan kesan yang optimum dalam menguruskan kesakitan bahu tersebut. Perkhidmatan ini boleh didapati di pusat fisioterapi awam dan swasta atau secara terus daripada ahli fisioterapi yang bertauliah.\nTeknik memindahkan badan yang efisien dapat mengurangkan tekanan pada bahu dan lengan semasa memindahkan badan daripada satu tempat ke satu tempat yang lain seperti katil, lantai, sofa, kerusi dan kereta. Teknik ini memerlukan program dan latihan yang komprehensif, kerap dan fokus bersama-sama dengan ahli fisioterapi.\nDi samping itu, bahu dengan otot yang kuat dan anjal juga dapat menjadikan pemindahan badan lebih efisien dan mengurangkan sakit pada bahu.\nHindari aktiviti yang memerlukan kekuatan bahu berlebihan seperti memikul beban yang melebihi kemampuan dan menggunakan teknik kayuhan kerusi roda yang tidak efisien.\nAda dalam kalangan pengguna kerusi roda yang begitu aktif dan kerap menyertai sukan memanah dan marathon bagi mengekalkan gaya hidup aktif. Terdapat juga pengguna kerusi roda yang bekerja dan melakukan rutin harian melebihi kemampuan tanpa rehat yang mencukupi.\nTindakan ini akan memberikan tekanan berpanjangan dan menyebabkan kecederaan lewah guna kepada bahu. Oleh hal yang demikian, pengguna kerusi roda harus mengetahui kemampuan diri dan rehat secukupnya agar bahu dapat pulih dengan optimum.\nPastikan juga kerusi roda berada dalam keadaan baik. Tayar kerusi roda haruslah mempunyai angin yang mencukupi. Pastikan juga tiada bendasing di celahan tayar agar kerusi roda tidak menjadi berat dan memberikan bebanan kepada bahu ketika mengayuh.\nPengguna kerusi roda juga digalakkan untuk memakai sarung tangan yang kesat dan sesuai bagi menambah luas permukaan sentuhan pada rim tayar kerusi roda. Usaha ini akan mengurangkan bebanan pada otot bahu.\nKekuatan dan momentum daripada badan juga boleh digunakan ketika mengayuh kerusi roda bagi mengurangkan tekanan kepada bahu. Sila dapatkan nasihat dan latihan kemahiran kerusi roda daripada ahli fisioterapi bertauliah dan rakan pengguna kerusi roda daripada persatuan kecederaan saraf tunjang atau badan bukan kerajaan di Malaysia.\nSemoga perkongsian ini dapat memberikan sedikit pandangan dan idea untuk menguruskan kesakitan bahu sewajarnya. Perlu diingatkan agar kesakitan bahu perlu diuruskan dan dirawat lebih awal bagi mengelakkan kesan sampingan yang berpanjangan. Hal ini penting agar kesihatan dan kesejahteraan hidup pengguna kerusi roda yang disebabkan oleh kecederaan saraf tunjang sentiasa berada dalam keadaan yang optimum.\n\u00a0\nDr. Noor Hafifi Noorhisham, Pensyarah, Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas (iCaRehab), Universiti Kebangsaan Malaysia." "68 Pelajar Sekolah Terima Tajaan Kaca Mata Percuma\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBatu Caves \u2013 Sebanyak 68 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Batu Caves, Selangor telah mendapat preskripsi dan tajaan kaca mata percuma oleh pihak Maxvue Vision Sdn. Bhd. melalui program khidmat masyarakat saringan penglihatan yang dianjurkan oleh program Optometri dan Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama syarikat pengeluar kanta lekap tempatan, Maxvue Vision Sdn. Bhd.\nSaringan penglihatan mata yang dijalankan kepada 121 orang kanak-kanak melibatkan pengukuran tahap penglihatan, entrance tests, pemeriksaan kuasa refraktif mata, pemeriksaan kesihatan struktur mata, rundingan dan pemilihan bingkai kaca mata yang sesuai.\nMenurut Ketua Pegawai Eksekutif Maxvue Vision Sdn. Bhd., Encik Selvam Kanniah, inisiatif khidmat masyarakat ini merupakan usaha kolektif dalam membawa perubahan positif dan memastikan kanak-kanak yang kekurangan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan mendapat bantuan yang sewajarnya.\nUsaha ini diharapkan dapat membantu kanak-kanak mendapatkan penglihatan yang optimum dalam meningkatkan prestasi akademik dan interaksi sosial mereka.\nMelalui program ini juga, beberapa kes yang melibatkan pemeriksaan lanjutan turut dirujuk kepada pakar oftalmologi di hospital dan Klinik Optometri, FSK, UKM.\nAktiviti khidmat masyarakat ini juga memberikan pengalaman pembelajaran imersif kepada pelajar Program Optometri, FSK, UKM melalui kemahiran praktikal, di samping membina sifat empati dan rasa tanggungjawab sosial yang mendalam sebagai asas untuk kerjaya masa depan mereka dalam memupuk generasi profesional penjagan mata yang cemerlang.\nSebanyak 56 pelajar tahun tiga dan empat bagi Program Optometri, FSK, UKM bersama-sama lima pensyarah menjalankan saringan penglihatan dalam aktiviti ini.\nTurut serta dalam aktiviti ini ialah kakitangan Maxvue Vision Sdn. Bhd." "Lebih 34 Ribu Wanita di Negeri Sembilan Jalani Ujian Mamogram hingga April 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSeremban 2 \u2013 Subsidi Ujian Mamogram di bawah Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) berjaya menarik pelibatan sebanyak 34 322 orang wanita di Negeri Sembilan untuk menjalani ujian tersebut.\nJumlah ini merupakan 7.27 peratus daripada keseluruhan jumlah wanita yang telah mendapat manfaat daripada subsidi ujian mamogram yang diperkenalkan sejak Mei 2007 hingga April 2023.\nPemberian subsidi mamogram ini memfokuskan wanita Malaysia dan penduduk tetap yang berisiko tinggi yang berumur 40 tahun hingga 70 tahun.\nWalau bagaimanapun, pemberian subsidi ini diperluas mulai 15 Februari 2012 kepada wanita berumur 35 tahun hingga 39 tahun yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser payudara.\nMenurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sembilan, sebanyak 4352 wanita di Negeri Sembilan telah mendapatkan ujian papilomavirus manusia (HPV) asid deoksiribonukleik (DNA) daripada 2019 hingga April 2023.\nSementara itu, jumlah penyertaan wanita dalam ujian ini pada peringkat nasional adalah sebanyak 75 675 orang.\nPemberian Ujian HPV DNA secara percuma mula diperkenalkan pada tahun 2019 di bawah Bajet 2019 dengan peruntukan sebanyak RM3.6 juta untuk meningkatkan jumlah wanita menjalani saringan kanser serviks melalui ujian HPV DNA dan mendapatkan rujukan bagi wanita yang dijangkiti oleh HPV Jenis Risiko Tinggi." "Durian: Manfaat atau Mudarat?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDurian yang dikenali sebagai raja buah merupakan satu daripada buah-buahan bermusim yang sangat terkenal di Malaysia. Dengan nama saintifik Durio zibethinus, buah ini mempunyai pelbagai spesies dan terdapat jenis durian tertentu yang dijual dengan harga yang sangat mahal. Namun demikian, lambakan buah durian ketika ini menjadikan harga buah ini menurun.\nSelain bau yang sangat kuat, buah durian juga mempunyai rasa yang unik. Durian banyak ditanam di pelbagai negara di Asia Tenggara. Durian memerlukan keadaan cuaca panas dan lembap beserta taburan hujan untuk pertumbuhan yang baik.\nPokok durian boleh mencapai ketinggian hingga 40 meter. Buah durian pula boleh mencapai berat hingga lapan kilogram. Tempoh hayat simpan durian adalah pendek, iaitu antara tiga hari hingga lima hari. Oleh sebab itu, durian selalunya akan dimakan segera setelah kulit luarnya dikupas.\nKandungan Nutrien Durian\nSelain terkenal dengan rasa yang lemak, manis dan sedikit pahit, durian juga merupakan buah yang mempunyai kandungan tenaga yang tinggi.\nSecara umumnya, buah durian mempunyai kandungan tenaga yang tinggi bagi setiap 100 gram, iaitu 153 kalori (kkal) jika dibandingkan dengan buah-buah lain seperti epal (56 kkal), tembikai (28 kkal) dan rambutan (59 kkal). Kandungan tenaga yang tinggi ini disumbangkan oleh lemak dan karbohidrat.\nOleh itu, saranan pengambilan buah durian ialah sebanyak dua ulas untuk setiap hidangan. Kajian lepas melaporkan kandungan gula total dalam beberapa jenis durian daripada Malaysia adalah antara 8.83 gram hingga 16.9 gram bagi setiap 100 gram durian mentah. Durian juga kaya dengan pelbagai jenis vitamin dan mineral yang diperlukan oleh badan.\nJadual 1 Kandungan nutrien daripada Malaysian Food Composition Database (MyFCD) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.\n\n\u00a0\nKegunaan Durian\nDurian selalunya dimakan secara mentah dan dihidangkan bersama-sama beras pulut yang ditanak. Di sesetengah negeri, hidangan ini dimakan dengan santan yang ditambahkan garam beserta gula untuk menaikkan rasa lemak manis durian.\nSelain itu, durian turut diproses kepada beberapa bentuk makanan, termasuklah tempoyak yang menggunakan isi durian yang diperam dengan garam selama dua hari pada suhu bilik. Kandungan tenaga tempoyak adalah lebih rendah berbanding dengan durian mentah.\nTempoyak boleh tahan dalam tempoh lebih lama sekiranya disimpan di dalam peti sejuk. Bahan ini sering digunakan dalam masakan bersama-sama ikan, ikan bilis, dan udang. Tempoyak turut dimasak dengan gabungan pelbagai jenis ulam dan pucuk tumbuhan seperti pucuk ubi, daun kunyit, daun kaduk, serai, petai dan pucuk labu. Menu unik ini dikenali sebagai tempoyak pucuk kayu.\nSelain isi buah, biji durian turut diproses kepada produk lain. Biji durian yang dibakar atau direbus boleh digunakan untuk membuat tepung dan kerepek durian. Kepelbagaian produk ini memberikan nilai tambah kepada durian. Seterusnya, daun dan pucuk durian turut dimasak untuk dimakan sebagai hidangan sayur-sayuran.\nKomponen Bioaktif Durian\nAroma dan rasa durian yang unik disumbangkan oleh sebatian meruap seperti aldehid, sulfur, keton dan alkohol. Kajian mendapati bahawa terdapat 39 sebatian meruap dalam pelbagai jenis durian di Malaysia.\nApabila perbandingan dibuat, didapati durian Malaysia mempunyai 97 peratus kandungan sulfur yang lebih tinggi berbanding dengan durian daripada Indonesia. Etanol merupakan jenis alkohol utama di dalam durian daripada Malaysia.\nDurian juga kaya dengan pelbagai jenis polifenol, iaitu metabolit sekunder yang dihasilkan oleh tumbuhan. Hal ini termasuklah flavonoid, asid fenolik dan tanin. Durian juga mengandungi karotenoid dan asid askorbik.\nDurian dan Kesihatan\nTerdapat banyak kajian telah menilai kesan durian terhadap beberapa parameter yang berkaitan dengan kesihatan. Pertama, kesan durian terhadap glukosa darah.\nSecara semula jadi, dua jenis karbohidrat di dalam durian ialah glukosa dan fruktosa yang boleh meningkatkan aras glukosa darah. Kajian indeks glisemik (GI) dalam manusia mendapati durian mempunyai nilai GI yang lebih rendah berbanding dengan buah nenas, betik dan tembikai. Serat di dalam durian akan memperlahankan penghadaman dan seterusnya memperlahankan pertukaran karbohidrat kepada glukosa.\nKedua, kajian haiwan mendapati pemberian durian kepada tikus menurunkan total kolesterol plasma dan lipoprotein ketumpatan rendah secara ketara.\nKetiga, durian didapati dapat membantu dalam penghadaman. Kandungan serat di dalam durian merangsang pergerakan peristalsis dan perembesan jus pencernaan yang memudahkan proses penghadaman. Serat tidak larut di dalam durian juga menyebabkan penurunan kekerapan insiden cirit-birit.\nKeempat, durian mempunyai aktiviti antiproliferatif kerana kandungan polifenol dan flavonoid yang dikaitkkan dengan aktiviti antioksidan. Sebatian ini dapat menurunkan aras spesies oksigen reaktif di dalam badan manusia. Kesan antiproliferatif dapat mengurangkan penghasilan sel malignan penyebab kanser.\nKelima, durian mempunyai kesan probiotik. Isi durian yang diperam atau tempoyak mengandungi bakteria asid laktik. Kajian eksperimen melaporkan bakteria daripada tempoyak ini mampu bertahan pada keadaan ekstrim dan memberikan kesan positif kepada mikrobiom di dalam saluran gastrousus.\nWalaupun durian hanya didapati pada musim tertentu, namun pengguna harus bijak dan berwaspada dalam menikmati buah ini. Pengambilan berlebihan buah durian boleh menyebabkan kesan buruk, terutamanya dalam kalangan wanita mengandung, pesakit diabetes dan individu obes.\nWanita yang didiagnos dengan diabetes gestasi seharusnya mengelak daripada mengambil durian kerana kandungan gulanya yang tinggi. Secara umumnya, individu dengan penyakit kronik dan mengambil ubat-ubatan boleh memakan durian dengan pendekatan sekadar merasa dan tidak makan bersungguh-sungguh untuk mengelakkan kesan buruk terhadap kesihatan diri.\nPengambilan durian juga boleh menyebabkan peningkatan suhu badan. Oleh itu, mereka yang menikmati durian digalakkan untuk minum air kosong secukupnya bagi menghadapi kesan ini dan membantu mengawal glukosa darah.\nNikmatilah buah tempatan ini dengan bijak, moga kita beroleh manfaat, bukan mudarat.\n\u00a0\nDr. Hanis Mastura Yahya, Pensyarah Kanan, Program Sains Pemakanan, Pusat Penuaan Sihat Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia." "MBMB Berkongsi Prosedur Pendakwaan Kes Saman Bidang Kesihatan Persekitaran\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHang Tuah Jaya \u2013 Pelajar Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Kuala Lumpur mendapat pendedahan mengenai prosedur pendakwaan yang melibatkan kes saman dalam bidang kesihatan persekitaran dalam program lawatan sambil belajar ke Mahkamah Majistret Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), semalam.\nLawatan sambil belajar yang melibatkan sebanyak 35 mahasiswa tahun pertama Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri ini merupakan satu daripada aktiviti yang telah ditetapkan untuk subjek Perundangan dan Penguatkuasaan Kesihatan Persekitaran.\n\u201cPihak UKM amat berterima kasih atas kesudian MBMB kerana telah bersetuju menerima lawatan sambil belajar ini. Mahasiswa amat beruntung kerana telah berpeluang menghadiri sesi perbicaraan yang berlangsung secara fizikal pada hari ini kerana banyak maklumat baharu mengenai prosedur pendakwaan telah diperoleh\u201d, ujar Profesor Madya ChM. Dr. Normah Awang selaku penyelaras subjek Perundangan dan Penguatkuasaan Kesihatan Persekitaran.\nDalam lawatan ini, mahasiswa telah berpeluang menghadiri sesi perbicaraan secara fizikal yang melibatkan kes saman seperti tidak membayar kos letak kenderaan, kesalahan oleh premis makanan yang tidak mematuhi peraturan, kesalahan melakukan pengubahsuaian bangunan tanpa kelulusan daripada pihak majlis bandaraya dan beberapa kes lain.\nPegawai Pendakwa daripada Unit Undang-undang MBMB, Puan Fahazaratul Hidayah Shaharom juga telah telah menyampaikan taklimat mengenai prosedur pendakwaan yang dijalankan di mahkamah majistret, tugas pegawai pendakwa, tugas pegawai penyiasat dan carta alir proses penyiasatan.\n\u00a0\nPada akhir sesi lawatan, pihak UKM menyampaikan sijil penghargaan kepada pihak MBMB sebagai tanda terima kasih atas kemudahan yang diberikan, manakala wakil MBMB menyerahkan cenderahati kepada Profesor Madya ChM. Dr. Normah Awang." "Cecair Vap: KKM Terima 17 Kes Penyakit Kecederaan Paru-paru\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima 17 kes berkaitan dengan penyakit kecederaan paru-paru akibat penyalahgunaan bahan terlarang dalam cecair vap atau electronic cigarette or vaping products use associated lung injury (EVALI) setakat ini.\nKetua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan melalui kenyataan media memaklumkan bahawa pihaknya memohon semua pengamal perubatan agar terus membuat notifikasi kepada pihak KKM sekiranya terdapat mana-mana pesakit yang dikesan menghidap penyakit tersebut.\n\u201cKKM ingin mengingatkan semua pengguna bahawa rokok elektronik atau vap adalah tidak selamat kerana memberikan kesan buruk kepada kesihatan dan tindakan tersebut bukanlah kaedah alternatif untuk berhenti merokok.\u201d\nBeliau berkata, KKM telah memulakan aktiviti pemantauan penyakit berkaitan dengan penggunaan rokok elektronik atau vap termasuklah EVALI melalui Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan berkaitan keperluan notifikasi bermula\u00a0 pada Jun 2022.\nTambahnya, KKM juga telah mewujudkan Panduan Amalan Klinikal (CPG) Pengurusan EVALI pada tahun 2021 bagi membantu pengamal perubatan mengesan dan merawat kes EVALI.\nBeliau menambah, penggunaan rokok elektronik telah terbukti mendatangkan kemudaratan kepada penggunanya kerana bahan yang terkandung di dalam cecair rokok elektronik apabila dipanaskan akan menghasilkan bahan kimia yang boleh memberikan kesan keradangan kepada lapisan paru-paru dan menyebabkan penyakit EVALI.\nKatanya, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 mencatatkan peningkatan penggunaan vap dalam kalangan remaja berumur 13 tahun hingga 17 tahun daripada 9.8 peratus pada tahun 2017 kepada 14.9 peratus pada tahun lalu. Peningkatan yang ketara turut berlaku dalam kalangan remaja perempuan, iaitu daripada 2.8 peratus pada tahun 2017 meningkat kepada 6.2 peratus pada tahun 2022.\nBeliau turut menasihatkan mereka yang merokok dan ingin berhenti merokok untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan di Klinik Berhenti Merokok yang disediakan di klinik kesihatan berdekatan atau melayari laman web di sini." "Memartabatkan Bahasa Melayu di Rantau ASEAN\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Usaha memartabatkan bahasa Melayu di Rantau ASEAN berbeza bagi setiap negara di ASEAN. Sehubungan dengan itu, perkara ini dibincangkan dalam Forum Dunia Melayu Dunia Islam yang bertajuk \u201cMemartabatkan Bahasa Melayu di Rantau ASEAN\u201d, bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur.\nDi Malaysia, bagi memartabatkan bahasa Melayu, Akta Dewan bahasa dan Pustaka 1959 akan dipinda. Menurut Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, DBP diberi kuasa untuk menegur tetapi tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan sekiranya teguran itu dilakukan. Tambah beliau lagi, perkara ini menimbulkan kekecewaan dan kemarahan masyarakat kerana DBP tidak mengambil tindakan terhadap kerancuan bahasa yang berlaku.\nSehubungan dengan itu, pindaan akta ini akan membolehkan DBP bertindak sebagai \u201cBadan Berkuasa Bahasa\u201d yang mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan peraturan yang berkaitan dengan penggunaan bahasa kebangsaan.\nDi Indonesia, terdapat lebih 1000 suku (etnik) dan 700 bahasa ibu (bahasa etnik). Melalui Kongres Pemuda Kedua (28 Oktober 1928), Indonesia telah memutuskan bahasa persatuan itu bahasa Indonesia. Dari segi geopolitik, bahasa itu disebut sebagai bahasa Indonesia. Walau bagaimanapun, menurut Prof. Dato\u2019 Perdana Hj. Abdul Malek, bahasa Indonesia itu berasal daripada bahasa Melayu-Riau. Tambah beliau, tidak ada penduduk Indonesia yang tidak tahu berbahasa Indonesia. Sebanyak 270 juta penduduk Indonesia yang boleh berbahasa Indonesia secara baik sesuai dengan konteksnya.\nSituasi tersebut pula berbeza bagi bahasa Melayu yang penduduknya terdiri daripada minoritinya orang Melayu. Bahasa Melayu di Singapura masih bertahan walaupun dalam jumlah minoriti di Singapura. Prof. Dr. Hussin Mutalib menyatakan bahawa bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar bagi kelas-kelas agama Islam secara umumnya.\nTambahnya lagi, sokongan daripada pemerintah dan aktifnya persatuan bahasa dan budaya Melayu membantu mempertahankan bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, menurut beliau, cabaran terkini di Singapura telah memberikan kesan kepada bahasa Melayu. Kehidupan di Singapura yang bercorak kosmopolitan, terbuka dan sejagat mengakibatkan seluruh budaya dan kehidupan masyarakat lebih mengutamakan bahasa Inggeris termasuklah orang Melayu sendiri.\nKeadaannya juga sama di Selatan Thailand. Dr. Kumajdi Yamirudeng dari Thailand menjelaskan bahawa usaha memartabatkan bahasa Melayu di Thailand menghadapi banyak cabaran. Bahasa Melayu dialek Patani di Thailand hanya digunakan dalam pertuturan sahaja. Tulisan Jawi pula hanya digunakan di sekolah-sekolah pondok dalam Pendidikan Islam sahaja. Beliau menjelaskan, martabat bahasa Melayu hanya dalam pengajaran pendidikan Islam sahaja tetapi tidak meliputi bidang akademik.\nMengulas lanjut tentang usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua di rantau ASEAN, Prof. Dr. Muslimin Macmud pula menjelaskan bahawa idea pelaksanaan itu sangat tepat dan mempunyai asas yang kukuh. Menurut beliau, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand, Filipina, Laos, Kemboja dan Vietnam mempunyai masyarakat yang bercakap dalam bahasa Melayu menerusi pelbagai dialek. Di Timor Laste juga mempunyai sejarah bahasa Melayu kerana pernah bergabung dengan Indonesia. Beliau menyebut, dalam melaksanakan seruan ini semua pihak tidak perlu bertelagah dalam soal nama atau intonasi (dialek) yang akan digunakan kelak. Bagi beliau, perkara tersebut terpulang kepada setiap kepala negara masing-masing yang menggunakan bahasa Melayu yang sesuai dengan dialek dan intonasi setiap negara.\nSementara itu, Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar yang bertindak sebagai moderator menutup forum ini dengan menyimpulkan bahawa bahasa Melayu melalui dua sudut. Yang pertama, sebagai geobudaya, bahasa Melayu dilihat sebagai bahasa ilmu, bahasa yang mempunyai jati diri dan bahasa penyatuan. Perkara ini perlu diusahakan oleh golongan intelektual. Dari sudut geopolitik pula, semua pihak perlu menghormati fikrah dan pemikiran politik masing-masing tentang bahasa Melayu. Walaupun di Indonesia, bahasa ini disebut sebagai bahasa Indonesia tetapi akarnya tetap bahasa Melayu. Di Malaysia, keadaannya berbeza kerana bahasa kebangsaan itu bahasa Melayu." "Status Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini Dikekalkan oleh UNESCO\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Status Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini, Pahang dikekalkan setelah diputuskan dalam Mesyuarat The 35th Session of the International Council of Man and the Biosphere Programme (ICC MAB35) di Paris, hari ini berikutan semakan berkala (periodic review) menunjukkan bahawa tapak rizab biosfera tersebut telah menepati kriteria Statutory Framework of the World Network of Biosphere Reserves.\nKeputusan tersebut adalah berdasarkan syor daripada International Advisory Committee for Biosphere Reserves dengan mengambil kira usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang bagi menambah baik pengurusan Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini termasuklah mengemas kini pengezonan bagi mengekalkan fungsi tapak rizab biosfera tersebut, mewartakan Hutan Simpan Kekal Chini, menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang dan melaksanakan moratorium terhadap aktiviti perlombongan.\n\u201cSyabas diucapkan kepada Kerajaan Negeri Pahang atas pengiktirafan ini dan diharapkan agar pengurusan Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini dapat terus ditambah baik,\u201d kata Menteri Sumber AsIi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yang Berhormat Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan.\nTasik Chini merupakan tapak rizab biosfera pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan pada tahun 2009.\nNegara ini juga mempunyai dua lagi tapak rizab biosfera, iaitu Banjaran Crocker, Sabah dan Bukit Bendera, Pulau Pinang yang masing-masing mendapat pengiktirafan pada tahun 2014 dan tahun 2021.\nSetakat ini, sebanyak 748 tapak rizab biosfera dalam jaringan rizab biosfera dunia yang merangkumi 134 buah negara dan setiap tapak rizab biosfera tersebut perlu mengemukakan semakan berkala selepas 10 tahun pengiktirafan untuk penilaian semula oleh sekretariat Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).\nDalam hal ini, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) sentiasa memberikan sokongan terhadap semua usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk memulihara tapak rizab biosfera sedia ada dan mencalonkan kawasan yang berpotensi sebagai tapak rizab biosfera yang baharu.\nDelegasi ke ICC MAB35 diketuai oleh NRECC dan turut dihadiri oleh wakil Kerajaan Negeri Pahang dan Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO." "Wacana Kelestarian Alam Sekitar Mengangkat Isu Alam Sekitar di Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBintulu \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) telah menganjurkan Wacana 45 Tahun BDA yang bertajuk \u201cKelestarian Alam Sekitar Pemangkin Bandar Makmur\u201d pada 12 Jun lalu di Auditorium Perpustakaan Awam, BDA.\nWacana ini dirasmikan oleh Penasihat Pembangunan Jepak Jaya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N67 Jepak, Yang Berhormat (YB) Datuk Haji Talip Zulpilip.\nDalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan bahawa Kerajaan Sarawak sentiasa menyambut baik dan menyokong segala usaha yang mampu memberikan manfaat kepada masyarakat di Sarawak, khususnya di Bintulu.\nSyabas dan tahniah kepada DBP Cawangan Sarawak, BDA, Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu dan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu kerana menjadi rakan kerjasama strategik dalam penganjuran Karnival Intelek 2023 Peringkat Sarawak.\nWacana 45 Tahun BDA menampilkan sebanyak tiga orang ahli panel, iaitu Pengurus Seksyen Kesihatan Persekitaran, Encik Gan Chung Yuek, Pengurus Seksyen Keselamatan dan Kesihatan, Puan Lydia Soloma Jalong, Pengurus Seksyen Penguatkuasaan dan Kesihatan Awam, Encik Awangku Mohd Sharifuddin Awangku Ahmad, manakala Penolong Pegawai Penguatkuasaan, Encik Mohamad Daud Ahmad bertindak selaku moderator.\nTirai perkongsian dimulakan oleh Encik Awangku Mohd Sharifuddin Awangku Ahmad merangkap pengurus program Bintulu Car Free Morning (CFM) yang berkongsikan tentang CFM sebagai program inisiatif hijau anjuran BDA untuk mengurangkan pelepasan asap karbon dioksida di samping memberikan ruang interaksi sosial kepada warga kota di Bintulu untuk mengamalkan gaya hidup sihat serta menjaga alam sekitar.\n\u201cBagi memastikan kelestarian alam sekitar dapat dipulihara, inisiatif Kerajaan Sarawak melalui Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) telah menganjurkan The Premier of Sarawak Environmental Awards (PSEA) secara tahunan untuk mengiktiraf dan menggalakkan semua sektor dan industri mengamalkan pengurusan alam sekitar yang baik dan secara konsisten,\u201d kata Puan Lydia Soloma Jalong ketika berkongsikan pandangannya dalam wacana tersebut.\nAntara inisiatif lain yang dilaksanakan termasuklah program Back to Nature, pelan penghasilan baja organik, program penanaman pokok, program Neighbourhood Cares dan program komuniti alam sekitar bagi menggalakkan serta memupuk komuniti untuk menyayangi alam sekitar.\nPada masa yang sama, Encik Gan Chun Yuek juga menyokong agar semua pihak, terutamanya masyarakat di Bintulu bersama-sama berganding bahu untuk merealisasikan segala usaha dan program yang diperkenalkan serta dipromosikan oleh BDA ke arah mencapai kelestarian alam sekitar.\nPengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai turut menyatakan bahawa kerjasama erat yang terjalin antara DBP dengan BDA merupakan\u00a0indikator untuk mengadakan lebih banyak program yang berimpak tinggi dan memberikan nilai kepada masyarakat.\nSebanyak 31 program telah dirangkumkan dalam Karnival Intelek 2023 Peringkat Sarawak, misalnya Bimbingan Penulisan Kreatif, Taklimat Buku dan Majalah, Pertandingan Deklamasi Puisi, Pertandingan Penglipur Lara Moden Sekolah Menengah, Pertandingan Pantas Jawi Sekolah Rendah, Pertandingan Teka Silang Kata Sekolah Menengah, pameran dan jualan buku DBP, Bicara Buku dan program Santai Bersama-sama Penulis Tempatan.\nWacana ini merupakan satu daripada aktiviti dalam Karnival Intelek 2023 Peringkat Sarawak yang diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun BDA ke-45, DBP ke-67 dan 60 Tahun Sarawak Merdeka yang bermula pada 12 Jun 2023 hingga 18 Jun 2023 .\nTurut hadir dalam program tersebut ialah Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu, YBhg. Datu Haji Muhamad Yakup Kari.\nKredit gambar: Encik Norfazrie Isquandy Nurol" "Skim Perubatan MADANI Bermula Hari Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Skim Perubatan MADANI yang bermula pada hari ini di 10 buah daerah dijangkakan bakal memberikan manfaat kepada 700 ribu isi rumah dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.\nMenteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat Dr. Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa skim tersebut ditawarkan secara automatik kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi membantu menampung kos rawatan kes akut.\nSkim ini memperuntukkan sebanyak RM250 bagi setiap isi rumah berkeluarga, warga emas tanpa pasangan sebanyak RM125 dan bujang berjumlah RM75 dan rawatan untuk pesakit luar bagi kes akut percuma merangkumi rawatan bagi penyakit demam, selesema, cirit-birit, muntah, terseliuh, sakit kepala, trauma ringan dan penyakit lain.\nTambahnya lagi, penerima manfaat skim tersebut boleh mendapatkan beberapa kali rawatan secara percuma hingga peruntukan bagi setiap isi rumah itu habis.\nWalau bagaimanapun, pakej rawatan skim tersebut tidak merangkumi rawatan akut seperti imunisasi rutin, saringan kesihatan, rawatan susulan penyakit tidak berjangkit, rawatan susulan ibu dan anak rutin, perancangan keluarga rutin, perkhidmatan rehabilitasi serta permohonan ubat-ubatan dan suplemen tanpa konsultasi doktor.\nMenurut beliau, program rintis skim tersebut bakal bermula pada hari ini hingga 31 Disember 2023 di 10 daerah, iaitu Gombak, Hulu Langat, Klang dan Petaling Jaya, Selangor, Kuala Lumpur, Kinta, Perak, Timur Laut, Pulau Pinang, Johor Bahru, Johor, Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak.\nSkim Perubatan MADANI ialah satu daripada inisiatif rintis kerajaan untuk menampung keperluan kesihatan golongan B40 bagi mendapatkan perkhidmatan penjagaan primer akut (rawatan pesakit luar kes akut) di klinik pengamal perubatan swasta umum (GP) yang berhampiran, sekali gus mengurangkan kesesakan dan waktu menunggu pesakit di kemudahan kesihatan kerajaan.\nSkim Perubatan MADANI ditawarkan secara automatik kepada penerima STR dengan membantu menampung kos rawatan kes akut dan perkhidmatan percuma yang ditawarkan termasuklah konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan akan diberikan di GP kepada penerima manfaat mengikut pakej yang ditentukan.\nTambah beliau, prapendaftaran adalah tidak diperlukan untuk menikmati manfaat Skim Perubatan MADANI bagi penerima STR dan tanggungannya, sebaliknya mereka hanya perlu membawa kad pengenalan semasa mendapatkan rawatan di GP berkenaan.\nKementerian Kesihatan Malaysia melalui ProtectHealth menyasarkan sebanyak 700 GP untuk mendaftar sebagai panel Skim Perubatan MADANI menjelang September 2023.\nKatanya, sebanyak empat sesi penerangan dan latihan kepada GP telah dijalankan pada masa ini dan dijangkakan sebanyak 10 sesi lagi akan dilaksanakan bagi mencapai sasaran GP yang berdaftar untuk skim tersebut.\nMaklumat lanjut mengenai Skim Perubatan MADANI termasuklah semakan kelayakan dan senarai klinik panel boleh didapati di laman sesawang ProtectHealth atau boleh menghubungi talian 03-86872525." "TikTok dan Pengaruhnya dalam Dunia Perbukuan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMenerusi aplikasi TikTok yang menjadi fenomena di seluruh dunia pada ketika ini, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) edisi ke-40 yang telah berakhir pada 4 Jun 2023 meluaskan promosinya kepada khalayak pengguna dan pembaca yang dikatakan mencecah berjuta-juta tontonan.\nLebih menarik lagi, pada tahun ini, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan PBAKL melancarkan Pertandingan Resensi Buku melalui aplikasi TikTok dengan tanda pagar #BookTokMalaysia dan #KLIBF2023 beserta slogan \u201cTemui pembaca di mana jua!\u201d yang membawa maksud sesiapa sahaja boleh menyertainya. Hadiah yang ditawarkan juga agak menarik buat peminat buku, iaitu baucar buku TikTok Shop.\nKesan atau pengaruh daripada pertandingan tersebut dan kempen promosi PBAKL menerusi TikTok, tanda pagar #BookTokMalaysia telah berjaya mengumpul lebih daripada 160 juta tontonan. Usaha ini sudah tentu menjadi antara faktor peningkatan kehadiran pengunjung ke PBAKL yang sangat ketara.\nDilaporkan bahawa jumlah pengunjung yang hadir dalam acara pada dua hari terawal bagi tahun ini mencatatkan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya. Pada tahun ini, PBAKL 2023 mencatatkan jumlah kehadiran pengunjung sebanyak 1.5 juta orang, yakni melepasi sasaran awal penganjur, iaitu sebanyak 1.3 juta orang.\nSebenarnya, pengaruh TikTok terhadap jualan buku memang diakui dan terbukti sangat efektif. Kajian yang dijalankan oleh organisasi analisis data seperti Nielsen pada tahun 2022, misalnya mendapati bahawa seorang daripada empat pembeli buku merupakan pengguna TikTok. Pengguna aplikasi ini juga telah menyumbang kepada pembelian sebanyak 90 juta unit buku pada tahun tersebut sebagaimana yang dilaporkan oleh Alice Kemp-Habib dalam The Bookseller pada 22 Mac 2023.\nTikTok menjadi pilihan pemasaran yang utama dalam mana-mana acara pesta buku antarabangsa yang berlangsung mutakhir ini. Pilihan pemasaran ini mampu memberikan impak atau pengaruh yang besar kepada peminat buku dan masyarakat tanpa memerlukan belanja yang besar.\nSebagaimana yang dinyatakan oleh Pengurus Besar Pesta Buku Paris, Jean-Baptiste Pass\u00e9, TikTok membiayai kurang daripada lima peratus daripada belanjawan yang diperlukan untuk mempromosikan acara tersebut. TikTok juga menarik lebih ramai golongan muda hadir ke The\u00a0Grand Palais\u00a0des Champs-\u00c9lys\u00e9es, sebuah bangunan bersejarah yang menempatkan dewan pameran dan kompleks muzium seperti yang dilaporkan The Limited Times pada 21 April 2023.\nDalam Festival Hay, acara perbukuan tahunan yang diadakan di Hay-on-Wye, Powys, Wales, buku yang dipertontonkan menerusi TikTok dengan tiba-tiba menjadi popular bagi edisi tahun 2022 dan pendekatan yang sama juga digunakan bagi edisi tahun 2023. Menerusi BookTok, peminat buku, khususnya dalam kalangan orang muda yang mesra teknologi mudah mendapatkan maklumat tentang sesuatu buku yang disyorkan dan merancang untuk membuat pembelian.\nSelain itu, kemudahan capaian menerusi elektronik dan mudah alih juga membantu memudahkan pembaca dan penulis berkomunikasi antara satu sama lain yang bukan sahaja mencambahkan input yang positif, malah membantu jualan buku.\nFormat biasa bagi TikTok yang terdiri daripada video pendek dengan kesan visual atau muzik, pastinya tidak sesuai dengan kritikan sastera tradisional, namun sangat berkesan untuk mempersembahkan sesuatu karya sehinggakan mampu meningkatkan populariti tersebut.\nDengan pengaruh #BookTok, Pesta Buku Frankfurt yang merupakan acara perbukuan terbesar di dunia turut menjadikan TikTok sebagai satu daripada rakan kongsi program ini. Trend ini bukan sahaja memberikan pulangan yang baik kepada penganjur, dari segi promosi dan memberikan nilai tambah kepada penulis untuk mengukuhkan penulisan pada masa akan datang menerusi ulasan dan syor yang telah diberikan oleh pembaca.\nDalam kalangan penerbit dan penjual buku, fenomena #BookTok dapat menggandakan kesan jualan dan peluang yang lebih besar untuk mendapatkan pelanggan baharu. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap komen, cadangan, ulasan ataupun syor daripada pengguna TikTok yang berasaskan platform visual sangat berkesan dalam mempercepat trend sehingga melonjakkan jualan dengan nilai yang mungkin tidak terfikir sebelumnya.\nSebagai contohnya, terdapat buku yang tidak pernah dibeli oleh sesiapa sebelum ini dengan tiba-tiba melonjak jualannya hasil ulasan seorang pengguna TikTok yang berkongsi minat yang sama dalam rangkaian sosial.\nTikTok juga menjadi popular kerana menjadi penghubung kepada individu yang mengalami masalah kesunyian atau terasing melalui hobi membaca dengan berkongsikan minat tersebut dengan individu lain. Bilangan pembaca akan terus meningkat tanpa batasan masa dan tempat yang menjadi faktor utama kepada peningkatan jualan buku di mana-mana sahaja.\nMelalui pengaruh aplikasi TikTok, Bloomsbury sebuah syarikat penerbitan yang berpangkalan di Britain berjaya meledakkan peningkatan sebanyak 220 peratus keuntungan dalam jualan yang sebahagian besarnya disebabkan oleh fenomena BookTok. Pelekat TikTok edisi khas dicetak dan dilekatkan pada buku yang popular dalam BookTok sebagai alat pemasaran zaman baharu untuk Gen Z.\nDengan gelombang baharu ini juga, platform e-dagang Amazon telah mengambil peluang tersebut dengan memasukkan frasa \u201cTikTok membuatkan saya membelinya!\u201d untuk menarik perhatian peminat buku yang berkunjung ke platfrom tersebut untuk membuat pembelian.\nBookTok ialah singkatan kepada Book TikTok yang merujuk komuniti pengguna di TikTok yang meminati buku dan sastera. Dengan membuat video yang menghiburkan yang berpusat di sekitar buku yang dibaca, maka satu daya cipta yang baharu atau boleh dikatakan cara yang inventif untuk membincangkan, menyemak dan mengesyorkan buku telah pun terbina, seterusnya merevolusikan komuniti sastera dan penerbitan.\nBookTok bermula sebagai tanda pagar di TikTok oleh sekumpulan pencinta buku dan menjadi trend besar-besaran pada tahun 2020. Sebahagian besarnya ahli komuniti ini terdiri daripada remaja dan gadis yang berfokuskan kandungan bacaan bercorak fiksyen, fantasi dan percintaan. Mereka menggunakan platform TikTok untuk mempromosikan buku yang mereka gemari, memperkenalkan pengarang baharu dan mewujudkan perbualan dengan rakan pembaca yang lain.\nKini, BookTok menjadi satu daripada komuniti media sosial terbesar di dunia untuk acara perbukuan. BookTok mempunyai lebih daripada 29.1 bilion tontonan dan banyak pemain besar dalam industri perbukuan seperti Barnes & Noble telah menyediakan bahagian khas kepada komuniti BookTok.\nSesetengah pengarang juga telah menemukan kemasyhuran melalui BookTok seperti pengarang These Violent Delights, Chloe Gong, wanita muda yang hanya berusia 21 tahun ketika karyanya meletup di pasaran pada tahun 2020.\nBeliau yang dilahirkan di Shanghai, China dan membesar di Auckland, New Zealand kemudiannya menimba ilmu di Pennsylvania, Amerika Syarikat mula menulis ketika berusia 13 tahun. Bukunya telah menjadi begitu popular di BookTok sehinggakan berada dalam The New York Times Best Seller List. Beberapa penjual buku juga memetik BookTok sebagai faktor utama yang menaikkan popularitinya.\nDalam konteks teknologi, BookTok mempunyai keupayaan mempercepat trend kerana enjin cadangan TikTok menggunakan teknologi kepintaran buatan untuk mengesyorkan kandungan yang paling sesuai kepada pengguna bagi membantu mereka mencipta video yang sempurna. Platform ini juga memiliki peningkatan teknologi lain seperti mencipta rakaman, membina tanda pagar, membuat tapisan dan algoritma pembelajaran mesin bagi membantu pengguna mencipta kandungan dengan mudah dan pantas.\nCara algoritma TikTok menyusun keutamaan adalah berdasarkan kepada dua perkara, iaitu interaksi pengguna dan maklumat video. Interaksi pengguna meliputi perkara yang sangat disukai, kandungan yang suka dikongsi, halaman yang suka diikuti dan komen yang diberikan. Maklumat video pula adalah berdasarkan kapsyen, suara (bunyi) dan tanda pagar. Perkara lain yang turut diberikan keutamaan ialah tetapan peranti dan akaun yang meliputi bahasa, negara dan jenis peranti yang digunakan.\nSeni bina TikTok terdiri daripada tiga komponen utama, iaitu rangka kerja data besar, pembelajaran mesin dan seni bina perkhidmatan mikro. Rangka kerja data besar ialah titik permulaan sistem yang menyediakan pemprosesan penstriman data masa nyata, pengkomputeran data dan penyimpanan data.\nPembelajaran mesin pula diibaratkan seperti otak bagi sistem pengesyoran. Pelbagai algoritma dan teknik pembelajaran mesin serta pembelajaran mendalam digunakan untuk membina model dan menjana pengesyoran untuk disesuaikan dengan pilihan individu. Seni bina perkhidmatan mikro pula ialah infrastruktur bahagian bawah yang menjadikan keseluruhan sistem berfungsi dengan sangat pantas dan cekap.\nDari segi sejarah, TikTok dibina oleh Zhang Yiming yang asalnya mengikuti pengajian dalam bidang mikroelektronik, namun beralih arah kepada bidang kejuruteraan perisian di Universiti Nankai di Tianjin, China. Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah apabila aplikasi TikTok yang dibina itu berdiri atas gabungan pelbagai teknologi dan bahasa pengaturcaraan seperti Swift dan Jawa sehingga dapat menjadi sebuah perisian sosial video dengan pelbagai fungsi.\nIdea membina TikTok tercetus apabila Zhang berpendapat bahawa pengguna telefon pintar China sedang bergelut untuk mencari maklumat dalam aplikasi mudah alih yang tersedia pada tahun 2012. Visinya adalah dengan menapis kandungan yang relevan agar pengguna dapat mencapai maklumat dengan pantas melalui pengesyoran yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan.\nVisi ini bagaimanapun tidak menarik minat kebanyakan pemodal teroka, kecuali Susquehanna International Group yang bersetuju untuk melabur dalam mengembangkan idea Zhang. Pada tahun itu juga, Zhang telah menubuhkan syarikat ByteDance dan memulakan operasinya di sebuah apartmen di Beijing.\nSetelah mendapat suntikan dana daripada Susquehanna International Group, Zhang menerusi syarikatnya melancarkan aplikasi pengagregatan berita Toutiao pada Ogos 2012. Dalam tempoh dua tahun, aplikasi tersebut telah berjaya menarik lebih daripada 13 juta pengguna harian. Kejayaan ByteDance menarik perhatian Sequoia Capital yang pernah menolak idea Zhang, membuat pelaburan sebanyak USD100 juta dalam syarikat yang dimiliki Zhang pada tahun 2014.\nPada September 2015, ByteDance melancarkan aplikasi perkongsian video TikTok yang dikenali sebagai Douyin di China. Produk ini tidak perlu menunggu lama untuk mendapat sambutan dan mencipta fenomena di seluruh dunia dalam masa yang singkat. ByteDance membeli Musical.ly setahun kemudian dengan harga USD800 juta dan menyepadukannya ke dalam TikTok." "Kelantan Catat Kes Cuaca Panas Tertinggi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Jumlah kes kumulatif penyakit berkaitan dengan cuaca panas dari Minggu Epidemiologi ke-16 (ME 16/2023) hingga ME 23/2023 adalah sebanyak 39 kes dan Kelantan mencatatkan kes cuaca panas yang tertinggi, iaitu sebanyak 10 kes.\nSelain Kelantan, bilangan keseluruhan kes berkaitan dengan cuaca panas mengikut negeri turut melibatkan Sabah (sembilan kes), Sarawak (lapan kes), Melaka (empat kes), Terengganu (tiga kes), Kedah (dua kes) dan masing-masing satu kes di Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Perak, manakala pecahan kes mengikut umur membabitkan 25 kes dewasa, sembilan kes remaja, tiga kes kanak-kanak dan dua kes warga emas.\n\u201cDaripada 39 kes berkaitan dengan cuaca panas itu, pecahan kes mengikut diagnosis disebabkan oleh kelesuan haba (23 kes), kejang haba (11 kes) dan strok haba (lima kes),\u201d kata Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat (YB) Dr. Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan.\nSetakat ME 23/2023, tiada kes kematian baharu akibat strok haba dilaporkan sekali gus menjadikan bilangan kumulatif kes kematian akibat strok haba kekal sebanyak satu kes sahaja, yakni seperti yang dilaporkan pada 25 April 2023.\nSementara itu, menyentuh isu kehadiran El Nino semasa monsun barat daya, YB Dr. Zaliha Mustafa dalam kenyataan tersebut menyatakan bahawa keadaan cuaca kering yang berpanjangan berpotensi mengakibatkan paras air di empangan berkurangan dan seterusnya menyebabkan bekalan air bersih terganggu.\nKejadian kebakaran terbuka juga boleh berlaku dalam tempoh tersebut dan mengakibatkan jerebu tempatan atau jerebu rentas sempadan yang boleh menjejaskan kesihatan masyarakat.\nOleh hal yang demikian, Kementerian Kesihatan Malaysia menasihatkan orang ramai agar mengehadkan keberadaan di kawasan panas terik, mengurangkan aktiviti fizikal lasak semasa cuaca panas, kerap minum air bagi memastikan hidrasi badan mencukupi, mengelakkan diri daripada melakukan pembakaran terbuka dan mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan yang berdekatan sekiranya tidak sihat." "Perkhidmatan Pemulihan Pulmonari Diperkasa dalam Bengkel Prasiswazah untuk Pelajar Fisioterapi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Memandangkan pemulihan pulmonari ialah bidang kepakaran fisioterapi yang kian mendapat permintaan dalam pasaran kesihatan, Program Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil inisiatif dengan menganjurkan Bengkel Prasiswazah untuk Pelajar Fisioterapi: Program Pemulihan Pulmonari di Klinik Fisioterapi, FSK, UKM.\nBengkel yang diadakan bersemuka secara teori dan amali ini menampilkan mantan pensyarah Program Fisioterapi, FSK, UKM, Profesor Dr. Hajah Ayiesah Haji Ramli dan Ahli Fisioterapi Kanan Jantung Paru-paru, Dr. Khatijjahbe Mohd Ali selaku penceramah.\nDalam bengkel ini, Profesor Dr. Hajah Ayiesah Haji Ramli berkongsikan kepakaran dan pengalaman beliau melalui kajian dan kegunaan pemulihan pulmonari yang dilakukan kepada pesakit.\n\u201cSaya mendapati bahawa kaedah perawatan melalui pemulihan pulmonari terbukti berkesan merawat dan membantu kesejahteraan pesakit yang mempunyai masalah paru-paru,\u201d jelasnya lagi.\nDr. Khatijjahbe Mohd Ali pula menyatakan bahawa penggunaan teknik penilaian pemulihan pulmonari berdasarkan kajian saintifik yang terkini dijalankan kepada populasi pesakit yang mengalami masalah peparu kronik.\n\u201cSaya amat berharap pelajar mengambil peluang sebaik-baiknya melalui bengkel ini untuk mempelajari teknik penilaian pemulihan pulmonari dan mempraktikkan kaedah tersebut secara langsung dengan bimbingan fasilitator yang berpengalaman,\u201d ujarnya lagi.\nSementara itu, Pengarah Bengkel Prasiswazah untuk Pelajar Fisioterapi: Program Pemulihan Pulmonari, Dr. Nor Azura Azmi berkata bahawa pelajar perlu menguasai dan mempunyai kemahiran dalam bidang kepakaran ini untuk membina kualiti hidup pesakit yang lebih baik.\nJelasnya, perawatan pesakit melalui pemulihan pulmonari sangat penting buat pesakit, terutamanya selepas serangan pandemik COVID-19 untuk membantu pemulihan optimum sistem pernafasan pesakit.\n\u00a0\nSebanyak 33 peserta yang terdiri daripada pelajar tahun akhir Program Fisioterapi, FSK, UKM, pelajar daripada Universiti Cyberjaya dan Universiti Tunku Abdul Rahman telah menghadiri bengkel selama dua hari ini." "MoU antara UKM dengan RDA Meningkatkan Kualiti Pemulihan Kanak-kanak Kurang Upaya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Program Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia mengukuhkan lagi jaringan universiti dengan masyarakat melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Riding For The Disabled Association Malaysia (RDA).\nBertempat di Polo Club Kuala Lumpur, MoU berkenaan ditandatangani oleh Timbalan Dekan Jaringan, Industri, Alumni dan Masyarakat, FSK, UKM, Profesor Madya Dr. Haliza Abdul Mutalib dan Ketua Program Fisioterapi, FSK, UKM, Dr. Asfarina Zanudin bersama-sama Presiden RDA Malaysia, Tan Sri Dato\u2019 Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan Setiausaha Kehormat RDA, Encik Johari Lee.\nProfesor Madya Dr. Haliza Abdul Mutalib dalam ucapan alu-aluannya, beliau berasa bangga kerana usaha sama ini bertepatan dengan komitmen UKM dalam memenuhi hak dan menjaga keperluan pelajar, kakitangan dan pesakit orang kelainan upaya (OKU) untuk mendapatkan akses penuh kepada sistem pembelajaran dan persekitaran rawatan yang baharu serta inklusif.\n\u201cHal ini menunjukkan bahawa Program Fisioterapi telah menyahut aspirasi universiti dalam memperkasakan naratif T.E.R.A.S UKM yang menjadi lembayung untuk UKM terus mencapai kecemerlangan melalui unsur kebitaraan prihatin yang merujuk segala aktiviti adalah bersifat kemasyarakatan dan mesra OKU,\u201d tambahnya lagi.\nBeliau juga mengharapkan melalui kerjasama ini, pihak RDA Malaysia akan terus menyokong Program Fisioterapi dan FSK dalam menjaga dan memperkasakan hak golongan OKU untuk mencapai kualiti hidup yang lebih baik.\nKerjasama antara Program Fisioterapi dan RDA telah terjalin sejak tahun 2016 melalui pelbagai rawatan terapi seperti terapi berkuda bagi pesakit di Klinik Fisioterapi serta penganjuran kursus terapi berkuda bagi pelajar, ibu bapa serta kakitangan FSK, UKM.\nMajlis yang penuh bermakna dan bersejarah ini disaksikan oleh pengurusan tertinggi RDA, kakitangan dan para pelajar FSK UKM, sukarelawan RDA, kanak-kanak kurang upaya yang mendapatkan rawatan terapi berkuda serta para pengiring." "Realiti Maya Bantu Atasi Gangguan Spektrum Autisme\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGangguan spektrum autisme (ASD) adalah sangat kompleks dan mempunyai pelbagai simptom yang berbeza antara penghidapnya. Antara simptomnya termasuklah ketidakupayaan dalam interaksi sosial, keengganan bertentangan mata dan menzahirkan ekspresi wajah.\nBegitu jugalah situasi yang dialami oleh remaja ASD yang tinggi kefungsiannya atau disebut sebagai gangguan spektrum autisme berfungsian tinggi (HFASD). Meskipun mempunyai darjah kecerdasan (IQ) yang tinggi, namun kualiti hidup remaja HFASD terjejas kerana\u00a0mereka mengalami\u00a0 kekangan dari segi kefungsian emosi. Hal ini terjadi apabila mereka tidak dapat mengawal atau menunjukkan emosi yang sesuai dengan persekitaran.\nKekangan juga boleh berlaku dari segi kefungsian sosial apabila mereka kurang berupaya untuk memulakan perbualan yang memberikan kesan kepada komunikasi sosial dan persahabatan. Hal ini juga memberikan impak kepada perkembangan peribadi mereka dari segi pembelajaran dan pencapaian. Mereka boleh melanjutkan pengajian sehingga tahap tertinggi, namun kualiti kehidupan mereka akan sering terganggu.\nPenggunaan Realiti Maya\nDalam hal ini, pembelajaran dengan menggunakan teknologi pemangkin Revolusi Perindustrian 4.0 seperti realiti maya (VR) dilihat sebagai satu daripada alternatif yang dapat membantu meningkatkan kualiti hidup remaja HFASD.\nVR mempunyai kelebihan memberikan simulasi persekitaran sebenar secara immersive. Menerusi VR, remaja HFASD boleh mengamalkan kemahiran sosial bagi meningkatkan kefungsian sosial mereka seperti memulakan perbualan dan bersahabat. Selain itu, mereka mampu meningkatkan kefungsian emosi dengan menunjukkan hubungan mata apabila berbual dan mempamerkan ekspresi wajah mengikut situasi.\nMereka boleh mengamalkan kemahiran tersebut secara berulang kali tanpa memerlukan rundingan fizikal dengan ahli terapi di klinik atau hospital. Secara tidak langsung, VR membantu proses adaptasi sosial remaja HFASD dalam ruang keselesaan di rumah mereka sendiri kerana berasa selamat dan terkawal. Semua ini berupaya mengurangkan kegelisahan yang kebiasaannya mereka alami.\nLebih menarik lagi, pelbagai teknik yang digunakan oleh ahli terapi boleh diadaptasikan dalam persekitaran VR yang immersive dan dinamik. Sebagai contohnya, elemen kognitif dan tingkah laku telah diguna pakai dalam persekitaran VR bagi membantu individu autisme mempelajari pelbagai kemahiran sosial dan komunikasi yang berkesan. Berdasarkan ciri tersebut, VR berpotensi menjadi terapi adjung bagi membantu mengatasi masalah kekurangan ahli terapi di negara ini.\nKajian Kebolehgunaan VR terhadap Golongan HFASD\nPasukan penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melaksanakan kajian kebolehgunaan VR terhadap golongan HFASD.\nKajian ini diketuai oleh Pakar Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Fakulti Perubatan UKM, Hospital Canselori Tunku Muhriz UKM, Profesor Madya Dr. Wan Salwina Wan Ismail; Ketua Projek VR dan Felow Penyelidik Kanan, Institut IR4.0, Profesor Madya Dr. Mohammad Nazir Ahmad; dan Ketua Projek Kualiti Hidup Remaja HFASD serta Pensyarah, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (PsiTra), UKM, Profesor Madya Dr. Nur Saadah Mohamad Aun.\nDalam satu temu bual, Profesor Madya Dr. Wan Salwina Wan Ismail menegaskan bahawa mendigitalkan proses intervensi bagi pesakit autisme HFASD menerusi VR ialah kajian bagi memperkasakan keupayaan VR dalam bidang kesihatan mental.\nSementara itu, menurut Profesor Madya Dr. Mohammad Nazir Ahmad, membangunkan VR untuk bidang kesihatan mental mempunyai cabaran yang tersendiri dan hal ini perlu dilakukan bersama-sama pakar kesihatan mental.\nHal ini dikatakan demikian kerana proses intervensi dalam persekitaran VR perlu mampu meneroka bukan hanya keperluan yang bersifat objektif, malah meliputi perihal subjektif seperti emosi dan mimik muka yang tidak begitu ketara dalam surgikal atau perubatan VR\u00a0yang lebih bersifat objektif.\nOleh hal yang demikian, kajian ini mempelopori intervensi VR untuk masalah kesihatan mental secara am dan autisme secara spesifik. Diharapkan kajian ini akan membuka laluan kepada banyak lagi kajian seumpamanya di samping memberikan manfaat kepada lebih banyak individu yang memerlukan di dalam negara mahupun di luar negara.\n\u00a0\nProfesor Madya Dr. Mohammad Nazir Ahmad, Felow Penyelidik Kanan, Institut IR4.0, Universiti Kebangsaan Malaysia." "Tahap Kesihatan Fizikal Warga Emas Dipertingkat dalam Program Kesihatan Fizikal dan Konsultansi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJeram \u2013 Program Kesihatan Fizikal dan Konsultansi yang dianjurkan oleh Fakulti Sains Kesihatan,\u00a0Universiti Teknologi MARA (UiTM)\u00a0berjaya menarik penyertaan sebanyak 30 orang warga emas yang berumur 60 tahun ke atas di Masjid Nurul Huda, Jeram, hari ini.\nProgram yang telah dijayakan oleh 51 orang pelajar fisioterapi separuh masa semester enam ini dibimbing oleh Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Fisioterapi, UiTM, Dr. Azliyana Azizan dengan kerjasama ahli kariah Masjid Nurul Huda dan diketuai oleh ahli fisioterapi dari KPJ Ampang Puteri, Abdul Fayyadh Abdul Rahim.\nDalam program ini, ceramah ringkas yang bertajuk \u201cPengendalian Fisioterapi Asas kepada Warga Emas\u201c telah disampaikan oleh ahli fisioterapi dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Mohammad Naim Ramli yang berkongsikan tentang risiko besar seseorang untuk jatuh dan tindakan yang perlu dilakukan jika terjatuh.\nKejatuhan boleh menyebabkan kecacatan yang ketara dan kematian kepada warga emas serta menjejaskan kualiti hidup. Usia yang semakin bertambah akan meningkatkan kekerapan jatuh dan kemungkinan kecederaan. Oleh sebab itu, warga emas perlu mengetahui cara yang tepat untuk bangun setelah jatuh agar terhindar daripada cedera lanjutan atau sebarang komplikasi.\nMenurut Puan Hasmah Mohd Hasan yang juga peserta dalam program ini,\u00a0tahap kesihatan fizikal perlu sering diuji, terutamanya apabila semakin meningkatnya usia.\n\u201cPendedahan kepada aktiviti fizikal dan kesejahteraan emosi memainkan peranan penting dalam perkembangan komuniti yang baik,\u201c jelas ketua peserta program, Encik Mohamad Yusri Rosi.\nDalam program ini juga, lebih daripada 10 stesen ujian saringan dilakukan termasuklah ujian kekuatan otot tangan dan kaki, kelenturan otot tangan dan kaki, keseimbangan, ujian ketahanan jantung, risiko jatuh, tahap kognitif, tahap depresi, dan sesi konsultansi.\nProgram ini juga dilengkapkan sesi senaman aerobik berkerusi secara berkumpulan untuk meningkatkan kekuatan otot tangan dan kaki, keseimbangan tubuh, kelenturan, serta mengurangi risiko jatuh pada masa hadapan." "Projek Pemuliharaan Muara Sungai Besut Dijangka Siap Disember 2025\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJertih \u2013 Berikutan keadaan muara Sungai Besut yang mengalami masalah pemendapan sekali gus menjadikannya cetek dan menjejaskan laluan keluar masuk bot, pelaksanaan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Besut diteruskan dan dijangkakan siap sepenuhnya pada Disember 2025.\nMenteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Yang Berhormat Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad melawat ke kawasan projek berkenaan bagi meninjau baki kerja yang tergendala.\nBerdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh NRECC, projek di bawah NRECC melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia tersebut melibatkan peruntukan berjumlah RM250 juta.\nSkop projek meliputi pembinaan benteng pemecah ombak di bahagian utara dan selatan muara sungai yang masing-masing berukuran 1.3 kilometer dan 1.85 kilometer panjang, melibatkan pembinaan lapis lindung tebing di Kampung Sungai Nail, kerja mendalamkan alur laluan bot di muara dan sungai serta penyuburan pantai di sepanjang pantai utara muara Sungai Besut.\nMuara Sungai Besut ialah laluan pelayaran utama bagi lebih 400 buah bot nelayan dan pelancongan untuk berlabuh di beberapa jeti di kawasan tersebut termasuklah di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan kawasan pelancongan dan persendirian serta menjadi laluan utama bagi pelancong dan penduduk tempatan untuk ke pulau yang berhampiran seperti Pulau Perhentian dan Pulau Redang.\nPemecah ombak sedia ada yang dibina pada tahun 1998 kurang berkesan untuk menangani masalah pemendapan menyebabkan kelancaran aliran air banjir dari sungai untuk keluar ke laut terjejas.\nPada masa yang sama, kedudukan jeti LKIM yang terdedah kepada pukulan ombak dan menyukarkan bot untuk berlabuh, terutamanya semasa ombak kuat dan musim tengkujuh menjadi satu masalah kepada para nelayan.\nProjek yang bermula sejak tahun 2016 itu tidak dapat disiapkan seperti yang dijadualkan pada Disember 2019 disebabkan oleh masalah infrastruktur dan kelemahan kontraktor menyebabkan penamatan kontrak telah dilakukan pada Disember 2020 dan kontraktor penyelamat dilantik secara tender terbuka pada 17 November 2022.\nDengan penyiapan projek ini, masalah mendapan, terutamanya di bahagian muara Sungai Besut dapat diselesaikan, memberikan perlindungan kepada kawasan jeti dan bot daripada ombak kuat, mengurangkan masalah hakisan pantai di kawasan pantai utara, nelayan bebas melaksanakan aktiviti perikanan dengan menggunakan laluan navigasi yang lebih selamat serta meningkatkan aktiviti ekonomi dan sosial penduduk tempatan.\nTindakan yang dilakukan oleh NRECC ini membuktikan bahawa NRECC sentiasa komited dalam menyelesaikan masalah pemendapan di muara sungai dan hakisan pantai sekali gus dapat menjaga kemaslahatan penduduk tempatan." "Tiga Strategi untuk Mengangkat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi ASEAN\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diteruskan untuk hari kedua dengan penyampaian Ucap Utama Dua oleh Ketua Pusat Kajian Budaya Melayu, Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara, Profesor Dato\u2019 Dr. Khairil Ansari, M.Pd.\nMenurut Profesor Dr. Khairil, persoalan mengenai bahasa Melayu perlu diperbincangkan secara lebih terkehadapan dalam usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). Dalam ucap utama tersebut, beliau berkata, \u201cWalaupun hingga kini hanya empat buah negara yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kita perlu menggunakan konsep penerimaan secara menyeluruh terhadap bahasa Melayu tanpa melihat dari sudut negara dan menafikan sebarang isu perkauman.\u201d\n\u201cDalam usaha memperhebat kedudukan bahasa Melayu, kita boleh mengambil inspirasi dari negara luar. Contohnya, perkembangan dalam aspek pendidikan menjadikan Jepun dan Jerman sebagai negara yang teguh dengan bahasa kebangsaan mereka. Dari sudut yang lain, pengukuhan seni dan budaya Korea Selatan yang disebarluaskan ke negara luar menjadikan orang ramai tertarik untuk mempelajari bahasa Korea. Perkara ini boleh dijadikan sebagai contoh teladan untuk kita memperkasakan bahasa Melayu di rantau ASEAN dan seterusnya diangkat pada peringkat antarabangsa,\u201d tambah beliau.\nDalam ucap utama tersebut, Profesor Dr. Khairil mencadangkan tiga strategi untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN. Strategi yang pertama ialah semua kosa kata bahasa Melayu dari segala aspek di rantau ini perlu dihimpunkan untuk dijadikan sebagai kamus besar bahasa Melayu yang akan dipakai dan menjadi sumber rujukan oleh masyarakat dari seluruh dunia. Dalam hal ini, Profesor Dr. Khairil berkata, \u201cBahasa Melayu masih memiliki keterbatasan dari segi kosa kata jika dibandingkan dengan bahasa Inggeris yang memperlihatkan pertumbuhan kosa kata sebanyak 8500 perkataan pada setiap tahun sehingga memiliki sebanyak 1 020 000 kosa kata hingga kini.\u201d\nOleh itu, saya menyarankan agar kosa kata bahasa Melayu dari pelbagai negara dihimpunkan dengan mencari titik persamaan daripada perbezaan yang ada, seperti melalui usaha dan peranan yang digerakkan oleh Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM).\nMengenai strategi yang kedua, Profesor Dr. Khairil berkata, \u201cDunia berada pada era digital dengan pelbagai variasi digital yang murni diserapkan dalam kehidupan manusia. Oleh hal yang demikian, kita perlu melihat keperluan manusia khususnya berkenaan dengan bahasa Melayu dan membanjiri mereka dengan maklumat dan informasi dalam bahasa Melayu, agar bahasa ini terus diikuti dan sebati dalam kehidupan mereka.\u201d\nUntuk strategi yang ketiga, kita perlu kembali mencapai komitmen bersama dalam kalangan negara ASEAN, tanpa melihat kedudukan dan latar belakang mana-mana negara. Usaha pengantarabangsaan bahasa Melayu ini merupakan usaha yang besar. Oleh itu, kita memerlukan semangat, perhatian dan pandangan daripada semua negara. Kita mahu sesuatu yang menghimpunkan semua negara ini, iaitu melalui bahasa Melayu.\nDari Sumatera pergi ke Kelantan,\n\u00a0 \u00a0 Membawa bejana bekalan minuman;\nMari bersama kita jayakan,\n\u00a0 \u00a0 Menjadikan bahasa Melayu bahasa ASEAN." "Buku Makanan Berfungsi: Seribu Satu Kebaikan Dilancarkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBintulu \u2013 Majlis Pelancaran dan Bicara Buku Buku Makanan Berfungsi: Seribu Satu Kebaikan telah berjaya diadakan di Auditorium Perpustakaan Awam, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).\nProgram ini merupakan satu daripada program Karnival Intelek 2023 Peringkat Sarawak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersempena dengan sambutan 60 tahun Sarawak Merdeka.\nSelain itu, Majlis Penangguhan Karnival Intelek 2023 Peringkat Sarawak turut diadakan dalam majlis yang sama.\nKedua-dua majlis ini telah disempurnakan oleh Setiausaha BDA, Encik Wan Ibrahim Wan Ali yang mewakili Pengurus Besar BDA, YBhg. Datu Haji Muhammad Yakup Kari.\nMenurut Encik Wan Ibrahim Wan Ali dalam ucapan penangguhannya, beliau berharap agar keseluruhan program yang telah dilaksanakan dapat memberikan manfaat.\nSemoga segala usaha yang dilakukan dalam Karnival Intelek 2023 Peringkat Sarawak ini mampu membina keintelektualan masyarakat di Bintulu melalui penganjuran pelbagai kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan.\nSementara itu, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai dalam ucapan alu-aluannya berkata beliau berharap agar jalinan kerjasama antara BDA dengan DBP dapat diteruskan pada masa akan datang.\nDBP Cawangan Sarawak sentiasa bersiap siaga mendukung dasar kerajaan serta melakukan setiap perubahan berdasarkan keperluan masyarakat Sarawak, terutamanya di Bintulu.\nDalam majlis yang sama, Encik Wan Ibrahim Wan Ali turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Pertandingan Deklamasi Sajak, Pertandingan Dendangan Syair, Pertandingan Penglipur Lara Moden, Pertandingan Pantas Jawi Sekolah Rendah dan Pertandingan Teka Silang Kata.\nProgram Bicara Buku yang membicarakan buku bertajuk Makanan Berfungsi: Seribu Satu Kebaikan menampilkan sebanyak dua orang ahli panel, iaitu Pengarah Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Profesor Dr. Shahrul Razid Sarbini dan Timbalan Pengarah, Institut Ekosains Borneo UPMKB, Profesor Dr. Patricia King Jie Hung serta Pensyarah Kanan, Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, UPMKB, Dr. Yasmin Yaccob selaku moderator.\nProfesor Dr. Shahrul Razid Sarbini dalam perkongsiannya menyatakan bahawa makanan berfungsi ialah sesuatu makanan yang boleh mencegah penyakit dan tidak dikategorikan sebagai ubat-ubatan.\n\u201cMakanan berfungsi mengandungi zat atau nutrien penting yang mampu memberikan kesan positif kepada sistem imuninasi badan dan seterusnya meningkatkan kesihatan individu,\u201d ujarnya yang menghadiri sesi tersebut secara maya.\nProfesor Dr. Patricia King Jie Hung pula menambah bahawa buku Makanan Berfungsi: Seribu Satu Kebaikan memberikan pendedahan kepada pengguna mengenai ilmu pemakanan yang sihat.\nTurut hadir dalam majlis ini Pengarah Institut Ekosains UPMKB, Dr. Syeed Saifulazry Osman Al Edrus.\nKredit gambar: Norfazrie Isquandy Nurol" "Jerayawara K-Sains UKM Memperkasa Profesionalisme Pegawai Sains\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Program Jerayawara Bersiri Kumpulan Pegawai Sains (K-Sains) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bil.1/2023 telah diadakan dengan kerjasama Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PERTADI), UKM di Auditorium Akademi Siber Teknopolis, UKM.\nProgram yang julung-julung kalinya diadakan sejak penubuhannya pada 18 Mac 2005 yang lalu telah dicetuskan oleh barisan jawatankuasa tertinggi dan exco K-Sains yang dilantik bagi sesi 2023-2025 sebagai platform untuk menerangkan tentang misi, visi, objektif dan hala tuju yang jelas berkaitan dengan K-Sains serta mendapatkan maklumat tentang peranan dan tugas hakiki dalam Skim Perkhidmatan Sains (Skim C) di UKM, keterlibatan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan perkhidmatan di universiti penyelidikan tersebut.\nFokus utama K-Sains ialah pemerkasaan profesionalisme Pegawai Sains bagi melahirkan lebih banyak Pegawai Sains yang mempunyai sijil profesional seperti sijil keahlian badan profesional, sijil kompeten, sijil tauliah, sijil berwibawa atau lesen kepada sesuatu bidang sains.\nSelain itu, K-Sains juga memberikan tumpuan terhadap aktiviti jangkauan seperti program sangkutan agensi atau syarikat tersohor, program pada peringkat akar umbi yang melibatkan pelajar sekolah atau orang awam dalam bidang sains dan teknologi, perkhidmatan sains yang melibatkan pengurusan makmal pengajaran dan penyelidikan, perkhidmatan instrumentasi, pengurusan keselamatan dan kesihatan tempat kerja serta pengurusan makmal klinikal di hospital.\nDalam program ini juga, exco tertinggi K-Sains sesi 2023-2025 dan data taburan Pegawai Sains UKM diperkenalkan dan hasil perbincangan bersama-sama PERTADI UKM dibentangkan kepada semua ahli K-Sains oleh YBrs. Ts. Dr. Idris Zulkifle selaku Pengerusi K-Sains sesi 2023-2025 merangkap Pegawai Sains Kanan, Fakulti Sains dan Teknologi, UKM.\nProgram jerayawara ini memfokuskan pelaksanaannya di tujuh institut di kampus UKM, Bangi, iaitu di Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Institut Sel Fuel (SELFUEL), Institut Biologi Sistem (INBIOSIS), Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN), Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI), Institut Perubahan Iklim (IPI), Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) serta dua pusat perkhidmatan, yakni Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal UKM (ALAF-UKM) dan Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH-UKM).\nPada masa yang sama, penerangan tentang latar belakang dan matlamat penubuhan PERTADI UKM serta objektif penubuhannya dalam mengukuhkan sokongan terhadap naratif baharu universiti watan telah disampaikan oleh Presiden PERTADI UKM merangkap Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar UKM, Tuan Haji Zanudin Mohd. Daud.\n\u201cKeanggotaan PERTADI UKM melibatkan staf Pengurusan dan Profesional daripada pelbagai skim dan pusat tanggungjawab di UKM dan berperanan dalam memperkasakan pentadbir pada peringkat universiti awam dalam lima aktiviti utama, iaitu jaringan strategik, penerbitan, webinar dan percambahan minda, sukan dan rekreasi serta kebajikan,\u201d kata Presiden PERTADI UKM, Tuan Haji Zanudin Mohd. Daud.\nSelain itu, beliau juga menerangkan kelebihan dan manfaat yang akan diperoleh oleh ahli yang menyertai PERTADI UKM dan berkongsikan pengalaman beliau mengenai kelebihan berpersatuan dalam membawa isu berkaitan dengan tugas dan permasalahan ke peringkat pengurusan universiti.\nPada akhir sesi jerayawara kali ini, berlangsungnya sesi soal jawab kepada ahli yang hadir bagi memberikan peluang untuk menyatakan permasalahan atau isu yang berlaku di pusat tanggungjawab masing-masing termasuklah melibatkan perjawatan dan kenaikan pangkat Pegawai Sains di institut, program sangkutan Pegawai Sains, subject matter expert (SME), tadbir urus Pegawai Sains serta skop tugas Pegawai Sains di institut yang berlatarbelakangkan bidang sains sosial." "Ancaman Ameba Pemakan Otak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada Disember tahun lalu, Korea Selatan melaporkan kes pertama jangkitan Naegleria fowleri. Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) mengesahkan kematian warga tempatan yang berusia lingkungan 50-an selepas mangsa kembali daripada Thailand pada 10 Disember 2022, setelah menetap selama empat bulan di negara tersebut.\nLelaki itu dipercayai meninggal dunia pada 21 Disember 2022 selepas dijangkiti Naegleria fowleri yang merosakkan otak. Perkhabaran kematian itu menggemparkan dan menjadi heboh di seluruh dunia, lebih-lebih lagi selepas ancaman virus COVID-19.\nNaegleria fowleri\nNaegleria fowleri ialah spesies ameba atau ameba sel hidup bebas (organisma sel tunggal protozoa) yang boleh ditemukan di seluruh dunia. Pada kebiasaannya, ameba ini ditemukan di dalam air tawar yang panas (tasik, kolam, sungai dan mata air panas) dan di dalam tanah.\nNaegleria fowleri juga dikenali sebagai ameba pemakan otak kerana berupaya menyebabkan kerosakan otak melalui jangkitan sistem saraf tunjang. Jangkitan ini berbahaya dan mampu membunuh mangsa dalam tempoh satu hingga 18 hari jangkitan.\nBerdasarkan jurnal Infectious Diseases Society of America (IDSA), dianggarkan sebanyak 97 peratus kematian berlaku apabila hanya tujuh orang terselamat daripada 381 individu dijangkiti di Amerika Syarikat sejak tahun 1937 hingga tahun 2020.\nEpidemiologi\nFowler dan Carter telah melaporkan jangkitan yang dikenali sebagai primary amoebic meningoencephalitis (PAM) pada tahun 1965 selepas empat orang meninggal dunia di Hospital Kanak-kanak Adelaide, Australia. Punca kematian dikaitkan dengan jangkitan Naegleria fowleri yang menyebabkan kerosakan dan keradangan yang teruk di dalam otak.\nSejak itu, PAM telah dilaporkan di beberapa negara dengan anggaran mangsa melebihi 400 mangsa di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, jumlah kes yang sebenar tidak diketahui dan mungkin lebih besar akibat diagnosis yang salah (misdiagnosis) atau kes yang tidak dilaporkan (unreported cases).\nMenurut data terkini, sebanyak 39 negara telah melaporkan kes jangkitan ameba pemakan otak. Amerika Syarikat, Mexico, Australia dan Republic Czech adalah negara yang paling terjejas.\nDi Asia, penyakit ini telah dilaporkan di Thailand, India, Pakistan, Iran dan China. Kesemua negara ini mungkin lebih terdedah kepada Naegleria fowleri kerana mempunyai suhu purata yang tinggi.\n\u00a0Morfologi dan Kitaran Hidup Naegleria fowleri\nAmeba pemakan otak dikenali dengan ciri yang disebut ameboflagellate, iaitu memiliki bentuk ameboid dan flagelat dalam kitaran hidupnya. Kitaran hidup Naegleria fowleri terdiri daripada tiga peringkat, iaitu sista, trofozoit (ameboid) dan flagelat.\nDalam persekitaran yang kondusif, Naegleria fowleri akan berubah menjadi trofozoit. Peringkat trofozoit ialah peringkat ameba yang aktif membiak dan makan. Sumber utama makanannya ialah bakteria, alga dan yis.\nDalam keadaan yang kurang sesuai, trofozoit akan bertukar sementara pada peringkat flagelat. Apabila keadaan tertekan seperti kekurangan sumber makanan dan suhu air yang sejuk, flagelat akan bertukar menjadi sista. Sista ialah peringkat ameba yang tidak aktif dan boleh bertahan dalam pelbagai jenis keadaan fizikal dan kimia, termasuklah suhu serendah empat darjah Celsius.\nHabitat Naegleria fowleri\nNaegleria fowleri tergolong dalam kumpulan termofilik (organisma yang menyukai haba) dan hidup di dalam air tawar yang hangat.\nAmeba pemakan otak ini juga mampu hidup dalam keadaan suhu hingga mencecah 46 darjah Celsius, namun pakar parasitologi tidak menolak ameba ini juga mampu untuk hidup dalam keadaan air yang bersuhu 26 darjah Celsius.\nNaegleria fowleri boleh ditemukan di:\nMenurut Centers for Disease Control and Prevention (CDC), Naegleria fowleri tidak ditemukan di dalam air masin seperti lautan. Jangkitannya juga tidak boleh disebarkan sesama manusia.\nBagaimanakah Naegleria fowleri Menjangkiti Manusia?\nAmeba ini berupaya untuk masuk ke dalam badan manusia melalui hidung semasa melakukan aktiviti berkaitan dengan air tawar (tasik atau sungai) seperti berenang, menyelam atau meletakkan kepala di dalam air tawar.\nAmeba kemudiannya bergerak ke otak dan memusnahkan tisu otak dan menyebabkan jangkitan PAM yang seterusnya boleh membawa maut. Jangkitan Naegleria fowleri juga mungkin berlaku apabila seseorang itu menggunakan air paip yang tercemar untuk membersihkan hidung atau ketika mengambil wudhuk.\nJangkitan Naegleria fowleri turut boleh berlaku daripada air rekreasi yang tidak mempunyai klorin yang mencukupi. Walau bagaimanapun, jangkitan Naegleria fowleri tidak boleh berlaku dengan meminum air yang tercemar. Sehingga kini, tiada bukti jangkitan boleh merebak melalui wap air atau titisan aerosol.\n\u00a0Simptom Jangkitan Ameba Pemakan Otak\nPada peringkat awal, gejala PAM menyerupai gejala meningitis yang disebabkan oleh bakteria dan virus lain seperti sakit kepala, demam, loya atau muntah. Gejala yang lebih serius seperti kekejangan leher, kekeliruan, kurang kesedaran terhadap orang serta sekeliling, sawan, halusinasi dan koma juga boleh berlaku.\nPada kebiasaannya, gejala ini muncul sekitar lima hari selepas jangkitan (tempoh inkubasi) dan boleh muncul seawal satu hari atau selewat-lewatnya 12 hari selepas dijangkiti.\nKeadaan pesakit juga boleh bertambah teruk dengan cepat, iaitu dalam tempoh lima hari dan kematian boleh berlaku dalam tempoh satu hari hingga 18 hari setelah pesakit menunjukkan gejala.\nMendiagnosis Ameba Pemakan Otak\nBagi memastikan seseorang itu terkena jangkitan ini, pesakit perlu melakukan pemeriksaan makmal dengan pengambilan cecair serebrospina (CSF).\nCSF dilakukan dengan mengambil sampel cairan di sekitar otak dan sumsum tulang belakang. Cairan tersebut akan diperiksa di makmal bagi mengenal pasti keberadaan ameba ini.\nSelain CSF, doktor juga akan meminta pesakit untuk menjalani ujian tambahan seperti imbasan tomografi berkomputer (imbas CT) dan pengimejan resonans magnetik (MRI) untuk melihat gambaran jaringan otak secara lebih terperinci.\nRawatan Jangkitan Ameba Pemakan Otak\nRawatan bagi penyakit ini adalah dengan pemberian gabungan ubat-ubatan seperti Amphotericin B, Azithromycin, Fluconazole, Rifampicin, Dexamethasone dan Miltefosine yang dapat diberikan melalui suntikan di vena atau saraf tulang belakang.\nMiltefosine merupakan ubat terbaharu yang terbukti dapat membunuh Naegleria fowleri serta mengurangkan pembengkakan otak akibat infeksi oleh ameba tersebut. Namun begitu, rawatan adalah sangat terhad disebabkan perkembangan penyakit ini berlaku sangat cepat.\nPencegahan Jangkitan Ameba Pemakan Otak\nSehingga hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiada kes jangkitan Naegleria fowleri direkodkan di negara ini. Namun begitu, rakyat Malaysia perlu berhati-hati dan mengambil langkah sewajarnya ketika melakukan aktiviti berkaitan dengan air tawar.\nAntara langkah pencegahan yang boleh dilakukan termasuklah:\n\u00a0\nProfesor Madya Ts Dr. Tengku Shahrul Anuar Tengku Ahmad Basri, Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA, Kampus Puncak Alam." "Lima Saintis Muda Mewakili Malaysia dalam Mesyuarat Nobel Laureate Ke-72\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebanyak lima saintis muda negara diberikan pengiktirafan mewakili Malaysia dalam Mesyuarat Nobel Laureate ke-72 di Lindau, Jerman yang bakal berlangsung pada 25 Jun hingga 30 Jun ini.\nMenurut Akademi Sains Malaysia (ASM) dalam kenyataan medianya, lima saintis muda yang terpilih ialah Dr. Liyana Azmi (Universiti Sains Islam Malaysia), Dr. Norhasmira Mohammad (Universiti Teknologi MARA), Dr. Wong Yin How (Taylor\u2019s University), Dr. Afifah Mohamed dan Dr. Wong Sok Kuan (Universiti Kebangsaan Malaysia).\nMereka akan menyertai sebanyak 630 saintis muda terpilih daripada seluruh dunia yang akan berinteraksi secara langsung dengan sekurang-kurangnya 40 pemenang Anugerah Nobel dalam mesyuarat kali ini yang didedikasikan dalam bidang fisiologi dan perubatan.\nDalam kenyataan yang sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Yang Berhormat Chang Lih Kang berkata bahawa terdapat keperluan untuk memberikan peluang kepada saintis muda Malaysia untuk turut serta dalam program bertaraf global seperti Mesyuarat Nobel Laureate ini.\n\u201cMelalui perkongsian perspektif baharu serta idea yang inovatif, kumpulan saintis muda ini menjadi aset berharga bagi komuniti saintifik. Langkah ini adalah penting untuk memastikan generasi baharu saintis dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan bagi menghadapi cabaran masa depan,\u201c jelasnya lagi.\nSementara itu, Presiden ASM merangkap Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada kerajaan, Datuk Dr. Tengku Mohd Azzman Shariffadeen pula menerangkan bahawa penyertaan Malaysia kali ini adalah antara usaha ASM menerusi kerjasama antarabangsa untuk memperkasa saintis muda dengan menyediakan peluang kerjasama dengan kumpulan saintis terkemuka dunia.\n\u201cPenyertaan ini juga memberikan mereka pendedahan yang amat berharga untuk memperluas rangkaian, berkongsi idea, pengetahuan dan penyelidikan. Diharapkan juga usaha ini mampu memberikan inspirasi serta motivasi kepada mereka untuk memajukan sains dan teknologi, sekali gus memberikan impak yang positif kepada masyarakat,\u201c tambahnya lagi.\nSebagai rekod, Malaysia telah menghantar sebanyak 84 saintis muda untuk mengambil bahagian dalam Mesyuarat Nobel Laureate sejak tahun 2004.\nKumpulan saintis muda tersebut akan menyertai sesi syarahan, perbincangan terbuka serta peluang untuk bertemu dengan Pemenang Anugerah Nobel secara santai menerusi acara Laureate Lunch.\nASM telah membuka pencalonan bagi Mesyuarat Nobel Laureate ke-72 kepada semua saintis muda institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara pada 21 September 2022 hingga 7 Oktober 2022.\nSaringan awal pemilihan dilakukan oleh ASM dan diputuskan oleh ahli jawatankuasa Mesyuarat Nobel Laureate untuk pemilihan akhir." "Pelajar UKM Santuni Warga Emas di PAWE Kuala Pilah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Pilah \u2013 Sebanyak 23 orang pelajar Program Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memeriahkan suasana sekitar Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kuala Pilah menerusi Program Pemakanan Sihat bagi Warga Emas yang memfokuskan sesi interaksi antara pelajar UKM dengan 30 orang warga emas mengenai amalan hidup sihat menerusi pemakanan.\nProgram yang bertemakan \u201cKembara Pemakanan Sihat, Ayuh Mulakan\u201d itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan selepas sesi saringan kesihatan yang telah diadakan pada 10 Mei 2023.\n\u201cProgram ini dilaksanakan untuk menyampaikan maklumat pemakanan sihat dalam usaha mengekalkan status kesihatan warga emas bagi memastikan kesihatan fizikal dan mental mereka berada pada tahap yang baik serta mewujudkan sikap keprihatinan anak muda terhadap kesejahteraan komuniti,\u201d kata Penasihat Program Pemakanan Sihat bagi Warga Emas, YBrs. Dr. You Yee Xing.\nBerdasarkan hasil dapatan kajian program tersebut, didapati bahawa hampir sebahagian daripada warga emas menghidapi penyakit darah tinggi dan masalah berat badan.\nSatu program intervensi telah dirangka yang bersesuaian dengan permasalahan warga emas. Modul utama yang akan digunakan ialah Sedap Tidak Semestinya Masin, Pilihan Bijak Makan Sihat dan Senaman Cegah Jatuh.\n\u201cProgram seumpama ini dapat memberikan pelbagai manfaat dan saya sangat mengalu-alukan kedatangan para pelajar UKM untuk mengadakan aktiviti bersama-sama warga emas di sini,\u201d ujar Ahli Persatuan Warga Emas Kuala Pilah, Encik Sulaiman Ujang.\nBeliau juga menyatakan bahawa program sebegini wajar diteruskan pada masa akan datang agar lebih banyak individu yang cakna tentang kesejahteraan warga emas di Malaysia.\n\u201cSaya berasa teruja apabila mendapat peluang untuk menyampaikan maklumat berkaitan dengan pemakanan sihat kepada warga emas selain merasakan bahawa program seperti ini dapat memberikan impak yang signifikan kepada komuniti tertentu,\u201d kata pelajar Program Dietetik FSK, UKM, Puan Nurul Mirza Mohd Shah.\nProgram berkenaan turut mendapat sokongan dan tajaan daripada Kesatuan Mahasiswa UKM (KMUKM), Persatuan Pelajar Pemakanan dan Dietetik UKM (NUDSA) dan FSK, UKM." "Latihan Pengukuhan Program Pemakanan Warga Emas Pertingkat Kemahiran Pegawai Sains Pemakanan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menganjurkan Latihan Pengukuhan Program Pemakanan Warga Emas kepada Pegawai Sains Pemakanan, KKM yang melibatkan sebanyak 33 orang pegawai di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras, Kuala Lumpur.\nLatihan pengukuhan tersebut diadakan berikutan peningkatan populasi warga emas yang mencecah 15 peratus atau lebih daripada jumlah penduduk di Malaysia sekali gus menunjukkan bahawa negara ini bakal menjadi negara menua menjelang tahun 2030.\nBerdasarkan kajian terkini yang dijalankan, satu daripada 10 warga emas di Malaysia mengalami masalah sekuriti makanan dan berlakunya peningkatan peratusan warga emas yang mengalami kekurangan berat badan serta berisiko mengalami malpemakanan.\n\u201cGaris panduan pemakanan untuk warga emas berada pada fasa akhir sebelum diterbitkan yang merangkumi saranan pengambilan makanan, pengekalan berat badan yang sihat, saranan untuk kekal aktif, pengambilan air yang mencukupi, kaedah penyediaan makanan yang sihat dan amalan keselamatan makanan semasa membeli, menyediakan dan menyimpan makanan,\u201d kata Timbalan Pengarah, Bahagian Pemakanan KKM, Puan Zaiton Daud ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.\nBeliau juga menyatakan bahawa garis panduan tersebut boleh menjadi rujukan kepada individu yang terlibat dalam bidang kesihatan.\nDalam program tersebut, Dr. Nurhayati Mardhiah Haji Manut berkongsikan maklumat tentang demografi dan taburan masalah pemakanan dalam kalangan warga emas di Malaysia serta membentangkan pelbagai dasar dan pelan yang telah dibentuk oleh KKM.\nMenurut beliau, pelan tindakan kesihatan warga emas dari tahun 2023 hingga tahun 2030 yang terdiri daripada lima teras telah digubal oleh pihak kerajaan.\nSeterusnya, pengisian tentang pemakanan untuk warga emas telah dikendalikan oleh Dr. Hanis Mastura Yahya dengan menjelaskan kepentingan pemakanan sihat dan saranan nutrien khusus untuk warga emas.\nBeliau turut membincangkan masalah pemakanan warga emas serta cara untuk mengatasinya dengan mencadangkan agar Piramid Makanan Malaysia 2020 dan konsep Pinggan Sihat Malaysia digunakan sebagai rujukan dalam pengambilan makanan bagi warga emas.\nAntara topik perbincangan lain yang dibincangkan dalam program tersebut termasuklah perubahan fisiologi, psikologi dan sosial dalam kalangan warga emas yang disampaikan oleh Dr. Nurul Fatin Malek Rivan.\nSelain itu, sesi penerangan tentang teknik penentuan status pemakanan untuk warga emas diikuti dengan sesi demonstrasi dan latihan dalam kumpulan juga dilaksanakan bagi mengukuhkan ilmu Pegawai Sains Pemakanan dalam melakukan penilaian status pemakanan pada peringkat komuniti, khususnya dalam kalangan warga emas.\nPada masa yang sama, demonstrasi dan penerangan tentang khasiat dan nutrien dalam menu masakan sihat, terutamanya untuk warga emas telah dilakukan oleh pelajar daripada Universiti Kebangsaan Malaysia yang menekankan kepelbagaian rasa, aroma dan tekstur untuk menggalakkan pengambilan makanan sihat dalam kalangan warga emas.\nLatihan ini diteruskan lagi dengan sesi khidmat masyarakat, misalnya edaran makanan, hebahan mesej pemakanan sihat dan pengukuran antropometri warga emas yang dilakukan dengan kerjasama Kechara Soup Kitchen.\nSecara keseluruhannya, latihan seumpama ini dapat membantu mengukuhkan ilmu dan kemahiran Pegawai Sains Pemakanan untuk menjalankan program yang melibatkan warga emas dan dapat digunakan dalam pembentukan garis panduan serta intervensi khusus untuk warga emas bagi memastikan kesejahteraan hidup mereka." "Malaysia Berjaya Menduduki Kedudukan ke-20 dalam Strong Starters Ranking\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Malaysia berjaya menduduki kedudukan ke-20 dunia dalam usaha menyediakan ekosistem syarikat pemula (startups) sekali gus menjadikan kejayaan tersebut merupakan suatu yang membanggakan dan meyakinkan dalam senarai Strong Starters Ranking.\nBerdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTl), pelbagai inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia 2021-2030 yang dikenali sebagai SUPER telah dilaksanakan oleh MOSTI bagi menyokong dan memberikan manfaat kepada lebih 3000 syarikat pemula dan satu daripada usaha untuk memperbaik dan mempertingkat pertumbuhan ekosistem bidang sains, teknologi, inovasi dan ekonomi.\nHingga Jun 2023, MOSTI telah melaksanakan SUPER menerusi Cradle Fund Sdn. Bhd. selaku agensi penyelaras syarikat pemula dan kini sasarannya adalah untuk memberikan sokongan kepada 5000 syarikat pemula menjelang tahun 2025.\nNilai ekosistem Malaysia adalah antara lima ekosistem teratas bagi ekosistem memuncul berikutan nilai ekosistem syarikat pemula Malaysia yang mencecah 46 bilion dolar bagi tempoh separuh pertama tahun 2020 hingga tahun 2022 sekali gus meletakkan nilai ekosistem Malaysia tersebut mengatasi Copenhagen, Guangzhou, Minneapolis, Bucharest dan Mexico City.\nPengiktirafan Malaysia di bawah Laporan Ekosistem Syarikat Pemula Global membuktikan keberkesanan usaha yang dilaksanakan oleh MOSTI untuk membangunkan ekosistem tersebut berpandukan SUPER 2021-2030 yang diterajui oleh Cradle Fund Sdn. Bhd.\nPendekatan yang lebih berstruktur menerusi Cradle Fund Sdn. Bhd. dengan kerjasama badan kerajaan berkaitan seperti Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia Digital Economy Malaysia (MDEC), Penjana Kapital, Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP) dan TalentCorp telah membina asas yang kukuh bagi memacu perkembangan lestari ekosistem syarikat pemula Malaysia.\nBerdasarkan Laporan Ekosistem Syarikat Pemula Global 2023 yang diterbitkan oleh Startup Genome, Malaysia juga kekal di kedudukan 21 hingga 30 di Emerging Ranking Ecosystem ekoran hasil daripada aktiviti pembiayaan yang rancak kepada syarikat pemula.\nSelaras dengan Teras Pembudayaan Daya Cipta Malaysia MADANI, MOSTI akan terus melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif bersepadu dalam menyediakan ekosistem syarikat pemula." "UiTM dan SWCorp Merintis Bidang Kesihatan Persekitaran kepada Pelajar SK Saujana Utama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Buloh \u2013 Dalam usaha melibatkan golongan muda dan memperkenalkan bidang kesihatan persekitaran kepada murid sekolah sebagai generasi pelapis, program Gerakan Environmen Murid Sekolah (GEMS) telah dianjurkan oleh Pusat Pengajian Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Puncak Alam dengan usaha sama pihak industri dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Utama, Sungai Buloh.\nProgram GEMS yang akan menjadi program tahunan ini bertujuan memberikan pengetahuan asas kepada murid tentang penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar untuk kesejahteraan pada masa hadapan.\n\u201cPelaksanaan program tersebut diharapkan dapat memberikan pemahaman kepada murid tentang kebaikan pengkomposan dan seterusnya cakna akan isu kesihatan persekitaran serta menjadi agen perubahan dalam masyarakat tentang isu berkaitan dengan kelestarian alam sekitar,\u201d kata Pengarah Program GEMS, Encik Mohd Izwan Masngut.\nProgram yang bertemakan \u201cFrom Waste to Value\u201d ini memberikan pendedahan kepada murid tentang teknik alternatif pengurusan sisa makanan yang boleh digunakan bagi mengurangkan kebergantungan pada pusat pelupusan.\nSebagai pembuka tirai perkongsian program tersebut, sesi penerangan tentang pengkomposan sisa makanan menggunakan larva lalat askar hitam (BSF) telah disampaikan oleh Entomal Biotech Sdn. Bhd.\nPenggunaan larva BSF sebagai alternatif dalam pengurusan sisa makanan semakin mendapat perhatian di seluruh dunia kerana bukan sahaja dapat mengurangkan pembaziran sumber sisa makanan dan pencemaran alam sekitar, malah dapat memajukan ekonomi setempat melalui penghasilan makanan alternatif untuk ternakan.\nSelain itu, larva BSF mengandungi kandungan protein yang tinggi (40 peratus) dan lemak (32 peratus) yang menjadikannya sesuai sebagai makanan ternakan, terutamanya untuk ayam dan ikan dan hasil pengkomposannya juga boleh digunakan dalam aktiviti pertanian.\nKetika program berlangsung, murid dan guru yang terlibat diberikan peluang untuk menyentuh dan mengendalikan larva dan lalat dewasa.\nSeterusnya, program dilanjutkan lagi dengan penjelasan tentang pengkomposan sisa makanan menggunakan teknik Bokashi oleh TT Organic Sdn. Bhd., yakni kaedah pengkomposan yang melibatkan proses penguraian sisa makanan tanpa kehadiran oksigen.\nBahan yang digunakan dalam teknik Bokashi merupakan hasil daripada sisa dapur seperti lebihan makanan, sayur-sayuran yang hampir basi, kulit buah, sisa kopi dan teh, serpihan kertas dan bahan organik lain.\nDalam program tersebut juga, murid diberikan pendedahan secara praktikal tentang langkah pengkomposan menggunakan teknik Bokashi dengan bantuan mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran, UiTM.\nMurid terlibat secara aktif dalam aktiviti penyediaan campuran Bokashi yang kemudiannya ditempatkan di dalam bekas yang tertutup rapat untuk mencegah pengoksidaan dan memastikan persekitaran tanpa oksigen serta dibiarkan selama dua minggu sebelum boleh digunakan.\nPengkomposan menggunakan teknik Bokashi dapat menghasilkan baja berkualiti tinggi yang mengandungi nutrien penting bagi tanaman dan dapat menyuburkan tanah dengan meningkatkan kandungan bahan organik dan mikroorganisma yang bermanfaat." "UKM Anjur Bengkel Penulisan Laporan Pengurusan Makmal Perkukuh Perkhidmatan yang Cekap\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Bahagian Perkhidmatan Sains (BPS), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan Bengkel Penulisan Laporan Pengurusan Makmal untuk mengasah kemahiran Pengurus Makmal dalam menyediakan perkhidmatan yang cekap dan mengikut prosedur, garis panduan, peraturan, akta dan pekeliling yang telah ditetapkan serta meningkatkan kompetensi kakitangan kumpulan profesional sains melalui penyediaan laporan teknikal yang berkualiti dan berstruktur.\nLaporan yang dihasilkan akan dijadikan sebagai dokumen sokongan bagi mendapatkan peruntukan pembangunan infrastruktur, perolehan alatan makmal, keperluan sumber dan pembangunan makmal serta memenuhi keperluan akreditasi makmal.\nTimbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Nor Fadilah Rajab ketika menyampaikan ucapan perasmian bengkel berkenaan menyentuh strategi serta inisiatif fakulti untuk tahun 2023 hingga tahun 2027 yang melibatkan Pengurus Makmal dalam pembangunan dan pengkomersialan prasarana dan instrumentasi penyelidikan bagi penyelidikan berimpak.\nSesi pertama bengkel itu dimulakan dengan ceramah \u201cLatar Belakang: Aku, Kami, Mereka dan Ia\u201d yang disampaikan oleh Pakar Rujuk Bidang Kualiti UKM, Pusat Jaminan Kualiti, YBrs. Profesor Madya Dr. Yanti Rosli dengan meminta peserta mengenal pasti skop kerja dan bidang tugas (TOR) masing-masing serta mengkaji faktor dalam penyediaan laporan dengan menggunakan analisis SWOT, iaitu kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman.\nDalam bengkel tersebut juga, peserta didedahkan kepada 10 formula bagi penghasilan laporan yang baik, berkualiti dan mudah difahami dalam konteks pengurusan makmal serta diminta menyediakan laporan berdasarkan soalan yang diberikan bagi meningkatkan kefahaman masing-masing.\nDengan adanya Bengkel Penulisan Laporan Pengurusan Makmal ini, para peserta diharapkan dapat menghasilkan laporan perkhidmatan sains dan pengurusan makmal yang menepati keperluan pengurusan kualiti fakulti, pengurusan sumber serta pembangunan fasiliti dan instrumentasi." "Pencapaian Aktiviti Fizikal Kanak-kanak dan Remaja Malaysia pada Tahap Membimbangkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Aktiviti fizikal dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di Malaysia yang berusia antara lima tahun hingga 17 tahun menunjukkan pencapaian yang kurang memberangsangkan, iaitu gred D minus (D -).\nHasil dapatan keputusan ini dicerap melalui Kad Laporan Aktiviti Fizikal Kanak-kanak dan Remaja Malaysia 2022 yang telah dilancarkan bersempena dengan Majlis Pelancaran Kad Laporan Aktiviti Fizikal Kanak-kanak dan Remaja 2022 yang diadakan di Hotel Putrajaya Marriot.\nDalam laporan ini, sebanyak 12 penunjuk digunakan, iaitu 10 penunjuk teras yang disarankan oleh Active Healthy Kids Global Alliance dan dua penunjuk tambahan termasuklah permainan aktif, pengangkutan aktif dan status berat badan.\nPengerusi Active Healthy Kids Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohd Razif Shahril\u00a0 menyatakan bahawa pencapaian yang diperoleh pada tahun 2022 adalah hampir sama dan tidak berubah dengan gred yang diperoleh buat kali pertama direkodkan pada tahun 2016.\n\u201cLaporan ini menunjukkan bahawa tiada pencapaian kenaikan gred secara menyeluruh dapat dicapai dengan lebih baik selepas empat tahun,\u201d jelasnya lagi.\nPro Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia Kampus Kuala Lumpur, Profesor Dato\u2019 Dr. Hanafiah Harunarashid dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa melalui Dasar Satu Murid Satu Sukan yang telah diperkenalkan oleh kerajaan, semua pihak seharusnya mengambil peranan yang penting pada peringkat awal lagi supaya usaha ini boleh digunakan pada luar waktu sekolah secara berterusan.\nKanak-kanak dan remaja perlu diberikan ruang untuk melakukan aktiviti yang mendorong mereka untuk kekal aktif, namun kekangan dengan keluarga yang sibuk menyebabkan mereka akhirnya diberikan capaian kepada telefon untuk bermain permainan dalam talian.\nPencapaian yang diterjemahkan dalam bentuk kad laporan ini ialah hasil kerjasama antara AHKGA dengan Universiti Kebangsaan Malaysia melalui proses harmonisasi Global Matrix 4.0 yang meletakkan Malaysia pada tangga ke-34 daripada 57 negara yang mengambil bahagian.\nPenunjuk ini juga digredkan berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2017, yakni hanya satu daripada lima remaja Malaysia atau (19.8 peratus) yang berumur antara 13 tahun hingga 17 tahun dilaporkan aktif secara fizikal, sekurang-kurangnya 60 minit sehari selama lima hari atau lebih dalam seminggu.\u00a0\u00a0 \nTurut hadir dalam program ini ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life Malaysia, Encik Ho Teck Seng bersama-sama 110 orang tetamu undangan yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan pihak berkepentingan." "Perkasakan Bahasa Melayu di Institusi Pendidikan Tinggi di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSecara realitinya pada hari ini, universiti awam mahupun universiti swasta akan mengutamakan bahasa Inggeris sebagai bahasa akademik kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa yang diguna pakai di seluruh dunia. Hal ini mencakupi seluruh aspek dan tidak terhad kepada pengajaran dan pembelajaran tetapi termasuklah penerbitan, penyelidikan dan perundingan yang dijalankan oleh para pensyarah dan profesor. Kegemilangan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di Malaysia termasuklah apa-apa yang disebut oleh penulis seperti di atas bermula seawal tahun 1970-an hampir di setiap kolej dan universiti.\nPerubahan mula dilihat menjelang tahun 1970-an hingga tahun 1980-an apabila setiap kolej dan universiti mula menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Semua lapisan bangsa juga dipupuk untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Sektor awam turut mewajibkan mana-mana calon yang ingin memohon jawatan di agensi kerajaan untuk mendapat sekurang-kurangnya kredit dalam subjek Bahasa Melayu. Universiti awam juga telah memperkasakan kedudukan bahasa Melayu semenjak penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970. Seluruh bidang ilmu di fakulti UKM menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan secara tidak langsung membuktikan kehebatan bahasa Melayu yang boleh digunakan sebagai bahasa ilmu.\nPemerkasaan bahasa Melayu turut dilihat menjelang tahun 1980-an hingga tahun 1990-an apabila banyak buku teks universiti awam mula diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) \u00a0sama ada secara terjemahan mahupun karya asli yang membolehkan mahasiswa membuat rujukan dan menjawab peperiksaan dalam bahasa Melayu. Hal ini termasuklah penggunaan bahasa Melayu sebagai penulisan dalam kajian ilmiah seperti tesis atau disertasi. Taraf bahasa Melayu turut berada di puncak kegemilangan apabila semua kursus peringkat ijazah sarjana muda di universiti awam diajarkan dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama pada tahun 1987. Itulah memorabilia kegemilangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.\nNamun begitu, taraf dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam dekad ini yang semakin didominasi oleh bahasa Inggeris di universiti awam mahupun swasta semakin meresahkan. Kalau tiada angin, masakan pohon bergoyang. Isu-isu utama pendidikan tinggi seperti rating dan ranking yang memerlukan bahasa Inggeris diangkat sebagai bahasa ilmu yang melibatkan penerbitan berimpak tinggi, mobilisasi pelajar antarabangsa, kebanjiran pensyarah pelawat antarabangsa dan sebagainya menghimpit kedudukan bahasa Melayu. Kita tidak mahu bahasa Melayu menjadi seperti melukut di tepi gantang. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu ini sebenarnya terkandung dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Selain itu, kedudukan bahasa ini di universiti awam dan swasta dapat dilihat menerusi Akta Pendidikan 1996. Seksyen 17(1) dalam Akta Pendidikan 1996 menyebut bahawa:\n\u201cBahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditentukan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri dari pada subseksyen ini.\u201c\nBerdasarkan seksyen ini, jelas sekali bahawa universiti awam dan swasta wajib menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar di universiti masing-masing. Bahasa kebangsaan dalam seksyen ini boleh dirujuk silang dengan seksyen 2 dalam akta yang sama dan bermaksud bahasa Melayu seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Namun seksyen 17 (1) ini telah memberikan ruang kepada Menteri Pendidikan untuk mengecualikan mana-mana universiti daripada menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Maka itu, tidak hairanlah terdapat keghairahan universiti swasta menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.\nAlasan yang kerap dibangkitkan dalam penggunaan bahasa Inggeris di universiti swasta ialah kebanyakan program di universiti swasta merupakan program berkembar dengan universiti luar negara seperti di United Kingdom, Amerika Syarikat dan sebahagian tenaga pengajarnya datang dari luar negara. Selain itu, alasan lain yang kerap dijadikan hujah adalah berkaitan dengan buku teks dan buku rujukan yang kebanyakan ditulis dalam bahasa Inggeris bagi subjek kritikal dan profesional. Hal ini dijadikan sebagai alasan tambahan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di universiti swasta. Mungkin wujud asas kebenaran di sebalik alasan yang dikemukakan ini.\nSehubungan dengan hal itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memikirkan mekanisme terbaik untuk memperkasakan dan memartabatkan kedudukan bahasa Melayu di universiti awam dan swasta. Antara mekanisme untuk merealisasikan matlamat ini termasuklah dengan memberikan pengiktirafan dan anugerah kepada mana-mana pihak yang mengangkat kedudukan bahasa Melayu di universiti awam dan swasta. Sasaran KPM dalam mekanisme ini perlulah bersifat serampang dua mata, iaitu pengiktirafan kepada mahasiswa dan tenaga akademik. Pengiktirafan kepada mahasiswa dapat dilihat menerusi penganjuran pertandingan pengucapan awam seperti debat, pidato, deklamasi puisi, sketsa, forum dan sebagainya yang bertemakan bahasa Melayu. Pertandingan ini perlu dibuat pada setiap peringkat yang bermula di universiti, negeri, zon dan kebangsaan, bahkan antarabangsa.\nPengiktirafan kepada tenaga akademik pula perlu dibuat dari sudut penerbitan, penyelidikan, penyeliaan dan perundingan dalam bahasa Melayu. Tidak dinafikan bahawa pada hari ini KPM telah pun menjayakan mekanisme ini dari sudut penerbitan apabila banyak pensyarah dan profesor telah menerima anugerah hasil daripada buku-buku terbitan mereka dalam bahasa Melayu. Namun begitu, anugerah tersebut perlu diperluas menerusi penyelidikan, iaitu laporan penyelidikan terbaik dalam bahasa Melayu. Selain itu, penyeliaan pula boleh dilihat menerusi tesis dan disertasi terbaik dalam bahasa Melayu dan perundingan menerusi laporan kertas polisi terbaik dalam bahasa Melayu.\nTuntasnya, kedudukan bahasa Melayu di institusi pendidikan tinggi negara wajar diperkasakan oleh setiap pihak dan bukan hanya berada di pundak pihak berwajib. Segalanya perlu bermula pada peringkat universiti dan harus dimainkan peranan oleh setiap mereka yang diberikan amanah untuk mentadbir universiti. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Jika kita mahu bahasa Melayu diperkasakan di institusi pendidikan tinggi, satu mekanisme berkesan perlu direncanakan oleh KPM. Janganlah usaha-usaha tersebut sekadar melepaskan batuk di tangga." "Bahasa Melayu Bahasa Supranasional dan Diaspora Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Tokoh akademik dan pejuang bahasa terkenal, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan (Malaysia) menggariskan beberapa elemen penting bagi menguatkan bahasa Melayu sebagai bahasa supranasional yang dapat diterima dan difahami oleh masyarakat serumpun Nusantara. Beliau membentangkan kertas kerja bagi Sidang 6 bersempena dengan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka, pagi ini.\nSelain itu, bahasa Melayu diaspora dijangka terus berkembang berdasarkan penjelajahan dan penyebaran bahasa yang dilakukan oleh pengembara dari Nusantara ke seluruh negara. Berdasarkan pengalaman dan kajiannya, bahasa Melayu tersebar luas di seluruh Nusantara, iaitu bahasa Melayu supranasional dan bahasa etnik sukuan.\nBahasa Melayu supranasional ialah bahasa yang dituturkan di Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura. Bagi memudahkan pembicaraan, bahasa etnik sukuan diterima sebagai bahasa dan dialek Melayu yang berasaskan bahasa Melayu seperti dialek Melayu Betawi, Acheh, Ambon, Jawa, Sunda, Tagalog, Sibu, Visaya, Solo, Roti dan Sika.\nMenurut Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, bahasa Melayu supranasional dilaksanakan mengikut undang-undang supaya dapat dituturkan dan difahami oleh penutur Asia Tenggara termasuklah di rantau lain.\nBagi merancang bahasa Melayu sebagai bahasa Melayu supranasional, beliau menetapkan beberapa perkara yang perlu diberikan tumpuan. Antaranya termasuklah unsur bahasa yang dipromosikan (kosa kata, imbuhan dan ayat), ranah atau bidang penggunaan (periklanan, persuratkhabaran, penyiaran, pendidikan, perniagaan dan perhubungan diplomatik), sumber prasarana (buku, akhbar, kamus, filem, Internet dan video), ejen penyebaran (kedutaan, institusi, pendidikan, masjid dan persatuan) dan pengguna (rakyat, pendidik, wartawan, usahawan, peniaga, pegawai kedutaan, pelancong, pendakwah dan novelis).\nKatanya, untuk membina bahasa supra sebagai promosi bahasa, terdapat tiga buah buku kamus yang perlu dijadikan bahan pengajaran di Nusantara, iaitu Kamus Dewan Perdana, Kamus Bahasa Melayu Nusantara dan Kamus Besar Bahasa Indonesia. Selain itu, Dictionary of Comparative-Indonesia Synonyms susunan Leo Suryadinata dan Abdullah Hassan menyenaraikan hampir 4500 kata Indonesia yang bersinonim dengan kata bahasa Melayu.\nDi bawah sidang yang sama, Prof. Emeritus Dato\u2019 Dr. Wan Hashim Wan Teh (Malaysia) turut mengakui bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa supra berdasarkan catatan sejarah pada awal sebelum Masihi, pada zaman Kerajaan Melayu Lama, kerajaan Funan, Champa, malah pada zaman Dinasti Han, bahasa Melayu pernah berkembang kerana disebarkan oleh pedagang China, Arab dan Parsi.\nBegitu juga pada zaman kemuncak Sriwijaya yang menjadi pusat pengajian Buddha turut menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Pada zaman ini, penggunaan bahasa Melayu-Sanskrit sudah mantap dan begitu luas penggunaannya sebagai bahasa ilmu, bahasa istana, bahasa perdagangan, penulisan dan persuratan. Walaupun rantau ini sudah 440 tahun dijajah oleh Inggeris, bahasa Melayu tidak tergugat malah semakin meningkat hingga selepas negara ini merdeka dan memasuki zaman moden, bahasa ini terus berkembang dalam bidang sains dan teknologi, serta perubatan.\nBerdasarkan kajian beliau, pada zaman penjajahan Belanda, bahasa Melayu diaspora terus berkembang di Sri Lanka yang dituturkan oleh 50 ribu penutur. Bahasa Melayu diaspora turut berkembang di luar alam Melayu seperti di Cape Town, Afrika Selatan. Imam Abdullah Kadir Abdul Salam mengembangkan ajaran Islam dan bahasa Melayu di sana. Beliau menggunakan khutbah dalam bahasa Melayu pada tahun 1800-an. Walau bagaimanapun, bahasa Melayu ini semakin lenyap pada masa ini dan digantikan dengan bahasa Afrika.\nBahasa Melayu diaspora turut berkembang di Jeddah, Madinah, Perth, Australia, London dan Los Angeles yang terdiri daripada kumpulan profesional Melayu yang turut membuka pelbagai kelab aktiviti sosial.\nJika di Brunei, bahasa Melayu turut berkembang sebagai bahasa rasmi negara itu. Pembentang kertas sidang dari Brunei, iaitu Prof. Ampuan Haji Brahim Ampuan Haji Tengah berkata, walaupun jumlah penuturnya sedikit, Brunei turut menyumbang sebagai pertambahan jumlah negara yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di Asia Tenggara.\nAngkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) ialah organisasi kebahasaan dan kesusasteraan yang bertanggungjawab mengembangkan bahasa dan sastera Melayu.\nASTERAWANI yang ditubuhkan pada tahun 1962, bertindak sebagai penyebar dan meningkatkan mutu sastera dalam kalangan penulis tanah air dari semua peringkat yang menyokong dasar kerajaan yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan negara, serta mengembangkan bahasa Melayu dalam kegiatan seni dan budaya Brunei. Badan ini juga mendapat kerjasama yang baik daripada Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, serta sentiasa berhubung dengan persatuan penulis luar negara khususnya GAPENA.\nPembentang kertas sidang dari Australia, Prof. Dr. Ismet Fanany pula memberikan penjelasan penuh secara maya tentang pengajaran bahasa Melayu yang ditawarkan di rantau ini, khususnya di Australia. Walau bagaimanapun, bahasa Indonesia menduduki bahasa keempat yang diajari di sekolah, iaitu di Victoria. Bahasa Indonesia menjadi pilihan banyak sekolah rendah yang diwajibkan menawarkan satu bahasa asing.\nPada masa ini, bahasa Indonesia dianggap lebih mudah bagi pelajar. Bahasa Melayu tidak ditawarkan di sekolah tetapi dapat diambil melalui Victorian School of Languages sebagai bahasa komuniti. Istilah yang dipakai untuk bahasa keturunan menjadi bahagian daripada warisan budaya pelajar yang keluarganya berasal dari negara bersangkutan. Bahasa komuniti dipelajari di luar sekolah dan biasanya secara tidak formal atau di kelas yang diadakan oleh masyarakat penutur dalam lingkungan mereka.\n\u201cDari dahulu, Victoria menjadi pusat pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu/Indonesia di Australia. Status bahasa Melayu sebagai bahasa supranasional juga dibicarakan dari segi prestij bahasa sebagai satu daripada unsur kekuatan lunak (soft power) dunia Melayu,\u201d katanya." "Penempatan Pegawai Perubatan Secara Berperingkat Atasi Masalah Kekurangan Doktor \u2013 KKM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Pegawai perubatan yang bakal menamatkan latihan siswazah atau khidmat wajib akan ditempatkan di fasiliti kesihatan tertentu secara berperingkat mulai Julai 2023 ekoran jangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan berlakunya kekurangan doktor buat sementara waktu berikutan isu pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi Iantikan kontrak ditawarkan pelantikan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).\nSelaras dengan kekosongan jawatan pada tahun 2023, sebanyak 4263 orang pegawai perubatan, 335 orang pegawai pergigian dan 316 orang pegawai farmasi telah ditawarkan pelantikan tetap.\n\u201cDaripada jumlah tersebut, sebanyak 4907 orang pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak telah melengkapkan urusan setuju terima melalui Sistem Tawaran Pelantikan Tetap (mySTP) SPA, manakala tujuh orang pegawai perubatan telah menolak pelantikan tetap berkenaan,\u201d kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dr. Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan.\nTambah beliau, kesemua pegawai yang ditawarkan pelantikan tetap perlu membuat pemilihan penempatan bertugas menerusi aplikasi eHousemen, eDentist dan ePharmacist bagi memastikan pelaksanaan pelantikan yang telus dan saksama.\nPegawai pergigian dan pegawai farmasi dibenarkan untuk membuat pemilihan penempatan bertugas menerusi aplikasi eDentist dan ePharmacist mulai 6 Jun 2023 hingga 8 Jun 2023, manakala pegawai perubatan pula boleh membuat pemilihan penempatan secara berperingkat melalui aplikasi eHousemen dan mengikut lima fasa pelaksanaan mulai 9 Jun 2023.\nProses pemilihan penempatan bertugas tersebut telah memasuki Fasa Lima yang berakhir pada 24 Jun 2023.\nMenurut beliau lagi, kesemua jawatan tetap di Semenanjung Malaysia telah dipilih sepenuhnya untuk perjawatan yang disediakan bagi Fasa Satu hingga Fasa Empat, manakala masih terdapat kekosongan jawatan di Sabah dan Sarawak yang tidak dipilih oleh pegawai menyebabkan kekosongan jawatan tersebut akan ditawarkan kepada calon simpanan.\nSementara itu, KKM telah menerima lebih daripada 1000 rayuan daripada pegawai untuk dikekalkan di penempatan semasa dengan alasan pegawai menghadapi masalah kesihatan diri dan keluarga, tidak bersetuju untuk berkhidmat di Sabah, Sarawak dan Labuan, penempatan menyebabkan pegawai terpaksa tinggal berjauhan dengan pasangan dan pegawai akan/atau memulakan pengajian kepakaran.\nOleh itu, bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan dapat diberikan secara cekap dan berkesan demi kesejahteraan rakyat, KKM sentiasa prihatin terhadap kelangsungan dan kesinambungan perkhidmatan di semua fasiliti kesihatan sejajar dengan konsep Malaysia MADANI." "Penyelidikan CoMTAS: Penuhi Keperluan Pengangkutan dan Mobiliti Warga Emas\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Sesi perkongsian dapatan penyelidikan Consortium on Mobility and Transportation in an Ageing Society (CoMTAS) bersama-sama pemegang taruh bagi mengenal pasti keperluan pengangkutan dan mobiliti untuk warga emas telah diadakan di The Everly Hotel, Putrajaya, semalam.\nCoMTAS ialah projek kerjasama di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang terdiri daripada tiga institusi penyelidikan, iaitu Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeingTM) Universiti Putra Malaysia (UPM), Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-Care) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan USM Initiatives on Ageing (USIA).\nCoMTAS berperanan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam penyelidikan tentang penyelesaian untuk mengemudi pengangkutan dan mobiliti yang inklusif, boleh diakses dan selamat digunakan serta membangunkan sains bagi memahami keperluan pengangkutan dan mobiliti dalam kalangan warga emas.\nProjek tersebut diketuai oleh YBrs. Profesor Dato\u2019 Dr. Tengku Aizan Tengku Abdul Hamid daripada MyAgeingTM, YBrs. Profesor Dr. Devinder Kaur Ajit Singh daripada H-Care dan pihak USIA yang diwakili oleh YBrs. Dr. Abdul Rais Abdul Latiff.\nProgram dimulakan dengan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MyAgeingTM UPM dengan Ketua Pegawai Eksekutif Urbanice Malaysia, TPr. Ts. Norliza Hashim serta pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara UPM, UKM dengan USM.\nWakil CoMTAS daripada USIA, iaitu Profesor Dr. Saidatulakmal Mohd. menyatakan bahawa dapatan kajian menunjukkan warga emas di Lembah Klang masih bergantung pada kenderaan persendirian, namun mereka menghadapi beberapa kekangan apabila memandu sendiri ke perkhidmatan, terutamanya ke perkhidmatan kesihatan, iaitu masalah ketersediaan, kebolehcapaian dan kemampuan tempat letak kereta.\nMenurut beliau lagi, pengangkutan awam tidak menjadi pilihan utama bagi warga emas disebabkan oleh kebolehcapaian, ketersediaan, ketersambungan, kebolehterimaan dan tidak mesra umur.\nTambah beliau, walaupun perkhidmatan e-panggilan (e-hailing) dapat memenuhi keperluan pintu ke pintu, namun perkhidmatan tersebut dianggap mahal bagi warga emas.\nDari perspektif pemegang taruh dan pembekal perkhidmatan pengangkutan pula, isu utama untuk memenuhi keperluan pengangkutan bagi warga emas ialah ketiadaan dasar spesifik untuk pengangkutan warga emas, infrastruktur reka bentuk yang tidak mencukupi, penyedia perkhidmatan tidak mempunyai maklumat komprehensif mengenai keperluan pengangkutan warga emas dan keperluan libat sama pelbagai pihak.\nSeterusnya, barisan perwakilan daripada setiap agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan usahawan sosial masing-masing menyuarakan kebolehlaksanaan cadangan pengukuhan tata kelola dalam sesi perbincangan cadangan pengukuhan tata kelola perkhidmatan pengangkutan dan mobiliti bagi masyarakat menua di negara ini.\nBerdasarkan sesi perkongsian tersebut, didapati bahawa terdapat beberapa kekangan yang dihadapi dalam pelaksanaan penyediaan perkhidmatan pengangkutan warga emas, terutamanya dari segi tata kelola dan keperluan pengkhususan warga emas dalam dasar pengangkutan.\nAntara pemegang taruh yang turut hadir dalam program berkenaan termasuklah wakil daripada Urbanice Malaysia, Agensi Pengangkutan Awam Darat, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pertubuhan Keselamatan Sosial, Majlis Pusat Kebajikan Semenanjung Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, MakCik Travels, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Bahagian Warga Emas, Jabatan Kebajikan Masyarakat." "Melindungi Kucing daripada Masalah Batu Karang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBatu karang di dalam pundi kencing ialah salah satu punca kepada sekatan pada saluran kencing kucing, terutamanya kucing jantan. Apabila berlakunya sekatan di saluran kencing, kucing akan mengalami kesakitan akibat tekanan daripada pengumpulan air kencing di dalam pundi kencing.\nBerdasarkan kajian yang dilakukan oleh penyelidik di Universiti Chiangmai, sebanyak 2.2 peratus daripada kucing yang datang ke hospital universiti menghidapi masalah batu karang di dalam pundi kencing.\nBatu karang di dalam pundi kencing tergolong dalam kategori feline lower urinary tract disease (FLUTD) dan bersifat obstruktif. Terdapat banyak lagi penyakit di bawah kategori FLUTD seperti feline idiopathic cystitis (pundi bengkak), jangkitan bakteria, kanser atau ketumbuhan dan lain-lain lagi. Namun begitu, hanya batu karang di dalam pundi kencing yang mendominasi peratusan kes dengan mencapai sebanyak 58 peratus daripada keseluruhan kes di bawah FLUTD.\nPenyakit batu karang di dalam pundi kencing dianggap sebagai penyakit yang berpotensi membawa maut dalam perubatan veterinar. Penyakit ini boleh dirawat secara berkesan jika kucing segera dibawa berjumpa dengan doktor veterinar dan boleh dikawal melalui preskripsi diet dan ubat-ubatan.\nBagaimanakah batu karang terhasil?\nKandungan mineral berlebihan di dalam air kencing berupaya untuk berkumpul menjadi kristal mineral yang halus. Apabila terdapat banyak kristal halus di dalam pundi, karang akan mula terbentuk akibat pemendakan kristal halus ini. Karang boleh terbentuk di mana-mana bahagian sistem urin, termasuklah di buah pinggang (karang buah pinggang), pundi kencing dan saluran kencing lalu menyebabkan sekatan.\nBatu karang mempunyai pelbagai jenis hasil daripada gabungan lebih daripada satu bahan mineral kompleks. Antara batu karang yang biasa dikenal pasti dan menyebabkan sekatan air kencing termasuklah karang struvit, kalsium oksalat dan karang urat.\nBatu karang ini boleh terbentuk dalam beberapa keadaan, sama ada terjadi akibat ketidakseimbangan mineral atau masalah kekurangan bahan kimia yang bertindak sebagai agen antikarang. Keadaan lain seperti diet tidak seimbang, masalah penghadaman, jangkitan kuman di pundi kencing, genetik, keradangan pundi sedia ada dan isi padu air kencing yang sedikit turut menyumbang kepada pembentukan karang pundi kencing.\nPada kebiasaannya, kencing kucing bersifat asidik dan hal ini boleh menyebabkan peningkatan risiko penghasilan batu karang apabila terdapat mineral berlebihan atau kekurangan bahan untuk menghalang pembentukannya. Dari sudut anatomi, bahagian tengah batu karang adalah keras dan dikelilingi dengan lapisan mineral yang menyaluti di bahagian luar.\nApabila batu karang terjadi, batu ini akan membesar hari demi hari akibat pergandaan lapisan luar oleh mineral yang berlebihan. Batu karang yang besar boleh terbentuk selepas berminggu hingga berbulan lamanya dan mampu menyekat air kencing. Tanda kritikal mula ditunjukkan oleh kucing apabila batu karang menjadi terlalu besar dan menutupi saluran air kencing\nGejala \nBatu karang yang bersaiz kecil kebiasaannya tidak menunjukkan gejala kecuali apabila batu karang tersebut membentuk plag di uretra dan menyebabkan sekatan di bahagian saluran air kencing. Apabila batu karang bersaiz besar berada di dalam pundi kencing, batu ini akan menekan saraf dan mencederakan lapisan di dalam pundi atau saluran kencing.\nPada mulanya, kucing akan mula menunjukkan kesukaran kencing dan air kencing menjadi warna merah (kencing berdarah). Kucing akan kelihatan resah, kerap berulang-alik ke bekas kencing dan mengambil masa yang lama ketika kencing. Kucing juga akan mengeluarkan bunyi bising ketika hendak membuang air kerana sakit.\nApabila saluran kencing telah sepenuhnya tersekat, kucing akan muntah, kehilangan selera makan dan minum, lemah dan sakit di bahagian abdomen serta kucing tidak berupaya untuk berjalan jika tekanan terlalu tinggi berlaku di pundi kencing.\nApabila terdapat tanda awal yang ditunjukkan oleh kucing peliharaan, segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut bagi mengelakkan masalah lebih besar seperti pundi kencing pecah dan tekanan yang tinggi kepada buah pinggang yang berpotensi menyebabkan kerosakan buah pinggang.\n\u00a0\nDiagnosis\nMelalui pemeriksaan keseluruhan dan keterangan daripada penjaga kucing, doktor veterinar akan mengenal pasti umur, jantina kucing, sejarah penyakit lain, diet dan pola pemakanan kucing. Doktor akan memeriksa pundi kencing dan akan cuba mengeluarkan air kencing secara manual dengan memberikan tekanan kepada pundi kencing.\nJika air kencing tidak keluar dan pundi kelihatan besar, kucing berkemungkinan mempunyai batu karang. Sampel darah akan diambil untuk mengenal pasti fungsi lain, terutamanya fungsi buah pinggang dan kandungan urea di dalam darah.\nSelepas itu, imbasan ultrasonik akan dilakukan bagi melihat keadaan dinding pundi kencing dan mengenal pasti kehadiran batu karang. Pemeriksaan sampel air kencing akan diambil untuk mengukur kadar pH air kencing, kandungan gula, graviti spesifik air kencing dan mengenal pasti jenis batu karang yang terdapat di dalam air kencing.\nImbasan radiografi kontras juga akan dilakukan untuk melihat kedudukan dan saiz batu karang. Jika terdapat kebengkakan pundi kencing dan air kencing tidak dapat dikeluarkan secara manual, doktor akan terus melakukan prosedur asas dengan memasukkan tiub ke dalam punding kencing untuk menghilangkan sekatan.\nPada kebiasaannya, batu karang di dalam pundi kencing sering kali dilihat berlaku kepada kucing jantan kerana saluran pundi kencing bagi kucing jantan adalah lebih panjang dan sempit berbanding dengan kucing betina yang sedikit pendek, besar dan tidak mudah tersekat. Batu karang ini biasanya tersekat pada bahagian sambungan pundi kencing ke saluran kencing atau bahagian tengah dan hujung pundi kencing.\nRawatan \nKaedah rawatan batu karang adalah mengikut jenis batu karang. Batu karang kalsium oksalat dan struvit ialah jenis batu karang yang sering dikenal pasti berlaku kepada kucing. Rawatan awal bagi masalah ini adalah sama, iaitu dengan memasukkan tiub ke dalam saluran kencing untuk sementara bagi membantu pengaliran keluar air kencing yang tersekat di dalam pundi kencing dan membolehkan warna air kencing diperhatikan. Kucing juga akan dimasukkan ke dalam wad bagi memantau keadaan.\nBagi kucing yang mempunyai batu karang jenis kalsium oksalat, rawatan sama akan dilakukan dan kucing akan diberikan diet yang mempunyai magnesium untuk mengurangkan pH air kencing (berasid). Magnesium ialah perencat kepada penghasilan batu karang kalsium oksalat.\nSelain itu, tiada rawatan ubat yang sesuai untuk kalsium oksalat. Jika batu karang kalsium oksalat terlalu besar, pembedahan pundi kencing akan dilakukan untuk membuang ketulan batu karang bagi mengelakkan berulangnya kes pundi kencing tersumbat.\nUntuk batu karang struvit pula, terdapat tiga jenis batu karang struvite. Antaranya termasuklah struvit yang berlaku akibat pemakanan yang digelar sterile struvite dan struvit akibat jangkitan kuman. Tidak seperti karang kalsium oksalat yang memerlukan pembedahan, karang struvit boleh larut apabila mengambil makanan yang telah dipreskripsi yang akan menurunkan pH air kencing dan melarutkan batu karang struvit.\nTerdapat banyak makanan khas yang terdapat di klinik veterinar. Kucing yang mempunyai masalah batu karang perlu mengambil makanan preskripsi ini sekurang-kurangnya selama enam bulan bagi mengelakkan penghasilan semula batu karang. Selain itu, rawatan secara simptomatik juga akan diberikan seperti antibiotik, pengendur otot, supplemen untuk darah dan ubat tahan sakit.\nApabila kucing tidak dirawat, pundi kencing akan mengembang pada tahap maksima dan boleh pecah akibat tekanan berlebihan. Apabila pundi pecah, air kencing terkumpul akan memasuki kaviti abdomen.\nPada masa ini, kucing tidak lagi menunjukkan tanda sakit kerana pundi kencing tidak lagi memberikan tekanan kepada saraf. Namun demikian, dalam masa beberapa jam, jangkitan kuman akan berlaku ke seluruh badan yang akhirnya akan menyebabkan berlakunya kegagalan jantung dan kematian.\nJika pundi tidak pecah, tekanan pada pundi akan menyebabkan tekanan kepada buah pinggang dan mampu merosakkan buah pinggang. Apabila air kencing tidak dapat disalurkan keluar, toksik di dalam darah tidak dapat ditapis oleh buah pinggang ke dalam air kencing. Hal Ini akan menyebabkan pengumpulan toksik urea berlebihan di dalam darah dan akan menyebabkan kucing muntah, kemurungan, koma dan lemah.\nKematian juga akan berlaku dalam masa tiga hari jika tidak dirawat. Oleh sebab itu, kes melibatkan sekatan saluran kencing akibat daripada batu karang merupakan satu daripada kes kecemasan dan perlu diberikan perhatian serius.\nLangkah Pencegahan \nAntara langkah pencegahan bagi masalah ini termasuklah mengikut saranan diet yang dipreskripsikan oleh doktor bagi kucing yang pernah mengalami batu karang. Jika diet berubah, batu karang akan terbentuk semula dan sekatan pundi kencing akan terus berlaku.\nDiet yang rendah garam serta berkualiti tinggi memainkan peranan yang amat penting. Bahan mineral yang berlebihan di dalam makanan kucing boleh mengalakkan pembentukan batu karang.\nSelain itu, stres, kurang minum air dan pasir kencing kucing yang kotor juga boleh menyebabkan masalah batu karang. Apabila kucing stres, lapisan di dalam pundi kencing akan terkesan dan boleh menyebabkan radang pundi kencing.\nKeradangan ini akan menyebabkan kucing kurang kencing. Air kencing yang bertakung di dalam pundi terlalu lama (akibat tahan kencing) dan air kencing yang pekat (akibat kurang minum air) boleh menghasilkan karang jika berterusan. Penjaga kucing disarankan untuk menukarkan air bersih pada setiap hari bagi menggalakkan pengambilan air dan meningkatkan isi padu air kencing supaya lebih cair.\nKucing sememangya dikenali sebagai haiwan yang pembersih. Apabila pasir kucing tidak dibersihkan, kucing akan menahan diri daripada kencing dan hal ini akan menyebabkan masalah air kencing bertakung dan seterusnya penyumbang kepada pembentukan batu karang.\nBagi isi rumah yang mempunyai banyak kucing, penjaga disarankan untuk mempunyai banyak bekas pasir pada nisbah satu bekas pasir untuk dua ekor hingga tiga ekor kucing sahaja.\nSelain itu, kucing yang berpotensi besar untuk menghidap batu karang di dalam pundi kencing ialah kucing jantan yang telah dimandulkan. Apabila dimandulkan, kucing akan menjadi kurang aktif akibat kekurangan hormon seksual. Bagi kucing yang telah dimandulkan, penjaga perlu memastikan kucing jagaan mereka aktif dengan banyak bermain dan melakukan aktiviti bersama-sama. Dengan cara ini, si comel dapat mengurangkan stres dan mengurangkan risiko berlakunya batu karang di dalam pundi kencing.\nSecara kesimpulannya, pada peringkat awal berlakunya batu karang, kucing mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala kerana batu karang masih lagi tidak menyekat pengeluaran air kencing. Penjaga perlu cakna dalam memerhati sebarang bentuk perubahan tingkah laku dan pola penggunaan tandas di samping perubahan warna air kencing.\nJika kucing terlalu kerap pergi ke bekas pasir atau mengambil masa yang lama untuk kencing atau mengeluarkan bunyi yang bising ketika kencing, segeralah bawa ke klinik veterinar untuk melakukan pemeriksaan. Kepekaan penjaga terhadap perubahan warna kencing serta tingkah laku kucing di tandas mampu mencegah batu karang di dalam pundi kencing daripada menjadi lebih teruk.\nPenjagaan dari segi diet and gaya hidup juga memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah ini. Rawatan dari segi ubat-ubatan dan diet yang dipreskripsi amat berkesan pada peringkat awal, namun bagi jenis batu karang yang tidak dapat dilarutkan atau dihancurkan dengan diet dan bersaiz besar, pembedahan pundi kencing perlu dilakukan supaya tiada sekatan semula akan berlaku.\nPendek kata, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Oleh itu, pencegahan awal mampu menjamin kesihatan pundi kencing kucing dan mengurangkan kos perubatan bagi merawat masalah ini." "Senaman dan Pembakaran Kalori\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKalori diperlukan oleh manusia untuk tidur, berjalan, makan, menaiki tangga dan sebagainya. Manusia juga membakar kalori melalui pergerakan dan aktiviti.\nSecara teorinya, jika seseorang itu ingin menurunkan berat badan, membakar lebih banyak kalori daripada yang kita makan menjadi perkara utama. Dalam hal ini, kebanyakan daripada kita sedar tentang kalori dan peranan mereka dalam pengurusan berat badan.\nNamun begitu, pernahkah kita terfikir senaman apakah yang paling banyak membakar kalori? Misalnya, senaman berintensiti tinggi seperti berbasikal menggunakan sebahagian besar otot and kumpulan otot yang berbeza yang membakar lebih banyak kalori. Bagaimanakah dengan senaman yang lain?\nSecara purata, manusia membakar sebanyak 1500 kalori hingga 2000 kalori sehari dengan hanya menjalani kehidupan seharian. Sama ada anda cuba untuk menurunkan berat badan, mengekalkan jadual senaman yang teratur atau hanya ingin kekal aktif, pengetahuan tentang jenis senaman yang membakar kalori yang paling banyak boleh membantu seseorang itu untuk memilih aktiviti yang ingin dilakukan.\nKalori\nKalori ialah unit tenaga. Jumlah tenaga di dalam makanan atau minuman diukur dalam unit kalori.\nSecara spesifiknya, kalori ialah jumlah tenaga yang diperlukan untuk memanaskan satu gram air sebanyak satu darjah Celsius (pada tekanan atmosfera normal). Pengambilan jumlah kalori yang disyorkan ialah sebanyak 2000 untuk wanita, manakala sebanyak 2500 untuk lelaki. Namun begitu, jumlah ini bergantung pada beberapa faktor.\nPembakaran Kalori\nMakanan memberikan tenaga yang diperlukan oleh badan untuk berfungsi. Tubuh menukarkan makanan kepada karbohidrat, lemak dan protein dan memecahkannya kepada bentuk yang lebih mudah untuk diserap.\nKomponen tersebut mencipta tenaga melalui proses yang kompleks dan diukur dalam kalori. Bilangan kalori yang digunakan oleh badan semasa rehat dikenali sebagai kadar metabolisme asas. Metabolisme ialah proses semula jadi yang boleh dipengaruhi oleh umur, jantina dan jenis komposisi badan.\nKajian mendapati bahawa kadar metabolisme asas badan adalah tidak tetap sepanjang hayat manusia dan berubah daripada usia baru lahir kepada usia dewasa yang lebih tua.\nFaktor yang Mempengaruhi Jumlah Pembakaran Kalori\nKeupayaan manusia untuk membakar kalori dipengaruhi oleh umur, jantina, berat, komposisi badan, ketinggian, intensiti dan tempoh senaman.\nUmur merupakan faktor penting dalam menentukan kalori yang dibakar. Semakin tua seseorang itu, semakin kurang jisim ototnya. Akibatnya, manusia membakar sedikit kalori semasa bersenam dan kadar metabolisme asas badan menjadi lebih rendah.\nSebagai contohnya, jika anda berumur 60 tahun, tahap kecergasan anda akan menurun. Anda juga tidak akan mampu mencapai intensiti yang tinggi semasa bersenam jika dibandingkan semasa anda berumur 18 tahun.\nSecara umumnya, lebih berat badan seseorang itu, lebih banyak kalori yang akan dibakar semasa bersenam. Orang yang mempunyai badan yang berat membakar lebih banyak kalori kerana memerlukan lebih banyak tenaga untuk bergerak.\nDalam erti kata lain, kalori ialah ukuran tenaga. Maka itu, semakin berat badan anda, semakin banyak tenaga yang diperlukan untuk menggerakkan badan anda.\nSesetengah kajian juga menunjukkan bahawa badan yang lebih besar mempunyai organ yang lebih besar yang memerlukan lebih banyak tenaga untuk berfungsi. Hal ini menyebabkan pembakaran kalori yang lebih besar. Setiap orang adalah berbeza, namun apabila berat badan anda berkurangan, anda membakar lebih sedikit kalori.\nSebagai contohnya, jika seseorang itu mempunyai berat sebanyak 72.5 kilogram berlari pada kelajuan sembilan kilometer sejam, mereka boleh membakar sebanyak 364 kalori dalam masa 30 minit.\nMenurut beberapa kajian, manusia sering membakar lebih banyak kalori semasa berdiri daripada duduk. Menurut kajian lain, orang yang mempunyai berat sebanyak 64.8 kilogram membakar sebanyak 0.15 lebih kalori setiap minit apabila berdiri daripada duduk. Berdiri selama sekurang-kurangnya tiga jam sehari juga membakar sebanyak 27 kalori tambahan.\nSelain itu, komposisi badan juga merupakan satu daripada faktor yang mempengaruhi pembakaran kalori. Otot memerlukan lebih banyak tenaga daripada lemak. Oleh sebab itu, apabila anda bersenam, tisu otot membakar lebih banyak kalori.\nDi sinilah juga kadar metabolisme asas badan memainkan peranan kerana lebih banyak otot yang dimiliki, lebih tinggi kadar metabolisme asas badan. Maka itu, lebih banyak kalori yang akan dibakar sepanjang hari. Secara ringkasnya, lebih banyak otot seseorang itu, lebih banyak kalori yang akan dibakar.\nIntensiti senaman juga mempengaruhi seberapa banyak kalori yang boleh dibakar. Seberapa cepat kita bergerak antara set senaman memberikan kesan kepada tahap degupan jantung. Hal ini juga akan menentukan jumlah tenaga (kalori) yang dibakar oleh badan.\nPada kebiasaannya, semakin tinggi intensiti senaman, semakin banyak kalori yang dibakar. Akibatnya, senaman mencabar yang meningkatkan degupan jantung dan menggunakan banyak kumpulan otot membakar lebih banyak kalori, seakli gua membantu seseorang itu membuang lebih banyak lemak. Berlari lebih laju (pecut) atau berselang-seli dengan berjoging boleh meningkatkan lagi bilangan kalori yang dibakar oleh seseorang.\nKadar denyutan jantung yang tinggi merupakan tindak balas fizikal badan untuk mengepam lebih banyak darah. Tindakan ini memerlukan lebih banyak oksigen dan tenaga serta menyebabkan lebih banyak kalori dibakar.\nMeningkatkan intensiti senaman dan mengurangkan masa rehat antara set senaman boleh membantu mengekalkan kadar denyutan jantung. Jika anda biasanya berehat selama seminit antara set senaman, anda boleh cuba untuk berehat antara 30 saat hingga 45 saat bagi membantu mengekalkan kadar denyutan jantung.\nTempoh senaman juga boleh menentukan jumlah kalori yang dibakar semasa bersenam. Sebagai contohnya, aktiviti berjalan boleh membakar antara 300 kalori hingga 500 kalori dalam tempoh satu jam, manakala berlari boleh membakar jumlah kalori yang sama dalam tempoh 30 minit. Seseorang itu juga akan membakar lebih banyak kalori dengan berjalan untuk jangka masa yang lebih lama berbanding dengan berjalan selama 10 minit.\nSenaman yang Paling Banyak Membakar Kalori\nTerdapat beberapa jenis senaman tertentu yang membakar kalori lebih banyak kalori daripada yang lain. Senaman yang menggunakan lebih banyak kumpulan otot akan membakar lebih banyak kalori daripada yang melibatkan kumpulan otot yang sedikit. Jenis senaman yang paling banyak membakar kalori ialah aktiviti lasak yang melibatkan pelbagai kumpulan otot di bahagian atas dan bawah badan.\nBerlari ialah aktiviti pembakar kalori yang terbaik. Kebanyakan orang yang berlari boleh membakar antara 500 kalori hingga 1000 kalori dalam tempoh satu jam. Kelajuan, kepantasan dan daya tahan merupakan faktor yang boleh memberikan kesan terhadap kadar pembakaran kalori ini.\nBerlari juga menggunakan setiap kumpulan otot badan dan hal ini membolehkan seseorang itu membakar lebih banyak kalori. Untuk meningkatkan pembakaran kalori, intensiti larian boleh ditingkatkan atau selang masa pecut dikurangkan.\nSeorang penunggang basikal yang aktif boleh berbasikal lebih laju daripada 5.5 batu sejam. Namun begitu, jika seseorang itu berbasikal pada kadar yang santai, individu tersebut masih boleh membakar sebanyak 117 kalori bagi setiap 30 minit.\nBerbasikal secara santai tidak akan membakar banyak kalori, namun berbasikal dengan intensiti tinggi, sama ada dengan basikal pegun atau semasa menaiki bukit, tindakan tersebut boleh membantu menguatkan bahagian bawah badan dan membakar lebih banyak kalori.\nSeseorang yang mempunyai berat sebanyak 72.5 kilogram boleh membakar sejumlah 291 kalori apabila berbasikal di luar rumah dengan kelajuan antara 12 batu sejam hingga 14 batu sejam selama 30 minit.\nMendaki ialah satu daripada cara terbaik untuk menikmati dunia luar tanpa teknologi Aktiviti pendakian melibatkan laluan yang tidak rata seperti berjalan mendaki bukit atau gunung, ini mencabar lebih banyak pergerakan otot, jadi kita akan membakar lebih banyak kalori.\nLompat tali ialah aktiviti yang baik untuk membangunkan koordinasi, kekuatan betis dan buku lali, kekuatan teras, postur serta daya tahan kardiovaskular. Senaman ini juga membantu membina kepadatan tulang, mencegah osteoporosis dan kehilangan tulang.\nCara terbaik untuk memulakan lompat tali adalah dengan perlahan dan melakukannya dalam tempoh 20 saat hingga 30 saat. Setelah menguasai rentak pergelangan tangan, kaki dan masa, kelajuan dan tempoh masa ditingkatkan untuk membakar lebih banyak kalori.\nBerenang ialah senaman berimpak rendah yang melibatkan pelbagai pergerakan kumpulan otot. Berenang selama 30 minit boleh membakar sebanyak 200 kalori hingga 300 kalori.\nBerenang juga meningkatkan kesihatan jantung, membina daya tahan kardiovaskular dan meningkatkan kekuatan otot yang digunakan semasa melompat ke dalam air.\nLatihan kekuatan ialah satu daripada cara yang paling berkesan untuk membakar lebih banyak kalori. Latihan kekuatan satu jam boleh membakar antara 300 kalori hingga 400 kalori secara purata, namun seseorang itu akan terus membakar lebih banyak kalori sepanjang hari kerana kesan excess post-exercise oxygen consumption (EPOC).\nKesan EPOC dikenali sebagai penggunaan oksigen yang berlebihan selepas senaman yang mewakili peningkatan dalam metabolisme yang berlaku selepas latihan kekuatan. Kesan ini juga dikaitkan dengan penggunaan oksigen yang diperlukan untuk membantu memulihkan otot selepas latihan kekuatan berintensiti tinggi.\nTinju tendang membantu meningkatkan ketahanan kardiovaskular, kekuatan, ketangkasan, keseimbangan, koordinasi dan kecergasan bahagian atas badan. Tinju tendang boleh membantu membakar sebanyak 300 kalori hingga 400 kalori dalam tempoh setengah jam, bergantung pada saiz badan dan tenaga yang diperlukan.\nSecara keseluruhannya, sebarang senaman ialah senaman yang baik. Apa-apa sahaja jenis senaman adalah lebih baik daripada tidak bersenam langsung.\nJika anda hanya mempunyai masa selama 10 minit sehari untuk bersenam, tindakan ini adalah lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa senaman. Kebanyakan orang tertumpu pada kalori yang dibakar semasa bersenam, namun kalori yang dibakar selama satu jam di gimnasium hanya menyumbang sebanyak 10 peratus daripada kalori yang dibakar dalam sehari.\nCarilah peluang sepanjang hari untuk mengoptimumkan kalori yang dibakar seperti meletakkan kereta lebih jauh daripada kedai runcit, berdiri semasa melakukan bekerja atau menaiki tangga. Kesemua tindakan ini akan menyebabkan berlakunya perbezaan besar dalam jumlah kalori yang dibakar pada setiap hari." "Bekalan Ternakan Masih Mampu Penuhi Keperluan Hari Raya Korban\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Berdasarkan anggaran bekalan ternakan daripada perangkaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), iaitu sebanyak 39 857 ekor lembu atau kerbau dan 29 988 ekor kambing atau biri-biri dijangkakan mencukupi dan dapat memenuhi keperluan permintaan sembelihan korban pada tahun ini, yakni sebanyak 38 404 ekor lembu atau kerbau dan 20 420 ekor kambing atau biri-biri.\nDalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, statistik DVS menunjukkan stok bekalan lembu atau kerbau tempatan hingga Mei 2023 adalah sebanyak 34 946 ekor, manakala bekalan lembu atau kerbau yang diimport hingga April 2023 pula adalah sebanyak 4911 ekor, sekali gus jumlah keseluruhan bekalan lembu atau kerbau bagi tujuan korban ialah 39 857 ekor.\nSementara itu, bekalan kambing atau biri-biri untuk penyembelihan hari raya korban hingga Mei 2023 adalah sebanyak 25 821 ekor, manakala bekalan kambing atau biri-biri yang diimport hingga April 2023 adalah sebanyak 4167 ekor dan jumlah keseluruhan bekalan ternakan tersebut untuk tujuan korban ialah 29 988 ekor.\nDianggarkan permintaan bagi lembu atau kerbau adalah sebanyak 38 404 ekor, manakala kambing atau biri-biri adalah sebanyak 20 420 ekor setelah mengambil kira keperluan masjid, surau dan penyembelihan di luar masjid atau surau untuk digunakan pada Hari Raya Korban, tahun ini.\nSusulan itu, sebanyak 27 buah rumah sembelih ruminan milik DVS di seluruh Semenanjung Malaysia sentiasa bersedia untuk beroperasi dan DVS juga mengeluarkan lesen kepada 38 buah rumah sembelih swasta di Semenanjung Malaysia yang boleh memberikan perkhidmatan penyembelihan bagi tujuan korban." "FSK, UKM Terima Lawatan Sambil Belajar Mahasiswa UNDIP, Indonesia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebanyak 30 orang mahasiswa daripada Universitas Diponegoro (UNDIP), Indonesia yang terdiri daripada pelajar prasiswazah dan siswazah Fakulti Kesihatan Awam, UNDIP serta empat orang pensyarah pengiring telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Insektarium dan Makmal Entomologi, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mendapatkan pendedahan terhadap entomologi, khususnya vektor serta cara pengawalan denggi dan malaria.\nDalam sesi lawatan tersebut, Pensyarah Entomologi Perubatan, UKM, YBrs. Profesor Dr. Hidayatulfathi Othman telah berkongsikan ilmu pengetahuan dan cabaran yang dihadapi oleh beliau semasa mengadakan program pendidikan dan promosi pencegahan denggi dalam kalangan masyarakat di Malaysia.\n\u201cPenyakit demam denggi ialah suatu penyakit bawaan vektor terpenting di negara ini dan menjadi masalah kesihatan awam yang utama pada peringkat negara dan global,\u201d kata YBrs. Profesor Dr. Hidayatulfathi Othman dalam sesi lawatan itu.\nSelain itu, beliau turut berkongsikan pengalamannya dalam menjalankan pelbagai kerjasama dengan pihak kerajaan, universiti dan industri tempatan untuk memantapkan usaha pengawalan dan pencegahan penyakit demam denggi dalam kalangan komuniti serta mengurangkan beban penyakit dan kematian akibat demam denggi di Malaysia.\nSesi lawatan berkenaan diteruskan dengan perkongsian oleh Pensyarah Kanan, Program Sains Bioperubatan, Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan (CORE), YBrs. Dr. Nantha Kumar Jeyaprakasam berkaitan dengan kajiannya dalam bidang entomologi, terutamanya vektor malaria, Anopheles spp. yang terlibat dalam penyebaran penyakit malaria knowlesi.\nPada masa yang sama, kajian mengenai bionomik vektor utama di Malaysia yang dapat membantu dalam merangka strategi untuk pengawalan vektor pembawa penyakit malaria yang kini semakin mendapat perhatian orang ramai disebabkan oleh peningkatan kes malaria zoonotik turut dikongsikannya.\nSementara itu, Pensyarah Kanan, Program Sains Bioperubatan, CORE, YBrs. Dr. Shirley Tang Gee Hoon juga membentangkan hasil kajian beliau tentang penggunaan produk semula jadi sebagai larvisid dan adultisid bagi vektor denggi, Aedes spp. kepada mahasiswa UNDIP, Indonesia.\n\u201cSesetengah insektisid yang digunakan untuk mengawal pembiakan nyamuk mungkin berbahaya kepada alam sekitar dan manusia serta penggunaannya yang berterusan akan menyebabkan nyamuk menjadi kebal terhadap insektisid,\u201d ujar YBrs. Dr. Shirley Tang Gee Hoon.\nBeliau juga berkongsikan kajiannya yang menilai keberkesanan sebatian kimia dalam minyak pati tumbuhan yang boleh digunakan dalam pengawalan pembiakan nyamuk aedes.\nMahasiswa UNDIP, Indonesia telah didedahkan dengan peralatan dan fasiliti entomologi serta kaedah pengkolonian nyamuk aedes dan Anopheles yang boleh digunakan untuk kajian entomologi semasa sesi lawatan ke Insektarium dan Makmal Entomologi FSK, UKM.\nProgram lawatan sambil belajar tersebut juga dialu-alukan oleh Timbalan Dekan Siswazah FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Mohd \u2018Izzuddin Hairol." "Mengurus Psikologi Persekolahan 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSepertimana takwim penggal dan cuti persekolahan tahun 2021 yang diumumkan sebelum ini, penggal persekolahan bermula pada 20 Januari 2021. Semua murid sekolah rendah memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada tarikh tersebut. Bagi sekolah menengah pula, pejajar Tingkatan 1, Tingkatan 4, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6, serta semua murid Kolej Vokasional akan memulakan persekolahan secara bersemuka pada tarikh yang sama. Sementara itu, pejajar Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 akan memulakan sesi persekolahan pada tarikh yang sama tetapi secara pembelajaran di rumah (Home-based Learning) mengikut kesesuaian guru dan murid. Mereka dijangka hanya akan kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka pada 8 Mac 2021.\nTernyata pandemik COVID-19 bukan sahaja mengubah kebiasaan baharu dalam kaedah pembelajaran pelajar dan murid tetapi turut memberikan kesan kepada sesi persekolahan yang ternyata berbeza daripada sebelumnya. Persoalannya, bersediakah murid dan pelajar untuk mendepani sesi pembelajaran tahun 2021? Hal ini dikatakan demikian kerana mahu tidak mahu pendekatan menyeluruh pihak sekolah dalam memastikan keperluan emosi pelajar untuk kembali bersekolah dalam situasi normal baharu perlu diberikan keutamaan. Untuk itu, Dewan Masyarakat mewawancara Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi, Universiti Putra Malaysia, Dr. Asmah Ismail, untuk mengetahui dengan lebih lanjut apakah persediaan dan sokongan yang sewajarnya dibekalkan kepada pelajar dan murid untuk menghadapi sesi persekolahan 2021.\nDr. Asmah Ismail: Selepas hampir sembilan bulan sekolah ditutup, sesi persekolahan 2021 akan bermula secara berperingkat. Semua pelajar di sekolah rendah akan memulakan sesi persekolahan secara serentak, manakala pelajar di sekolah menengah secara berperingkat. Perkhabaran ini menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat. Ada yang melihatnya sebagai langkah positif tetapi ada juga yang bersikap skeptikal.\nWalau apa-apa pun reaksi yang ditunjukkan oleh masyarakat, sesi persekolahan akan dikendalikan seperti biasa tetapi mengikut norma baharu. Sama ada dimulakan pada 20 Januari 2021 atau 8 Mac 2021, pelajar mengetahui bahawa mereka perlu kembali ke sekolah. Ada sekumpulan pelajar yang ternanti-nanti untuk kembali ke sekolah secepat yang mungkin. Mereka ingin mengikuti pembelajaran di dalam bilik darjah dengan dididik oleh guru secara bersemuka. Namun begitu, ada juga kumpulan pelajar yang tidak kisah sama ada pembelajaran dibuat di sekolah atau secara dalam talian. Bagi mereka, yang penting ialah mereka dapat belajar tanpa halangan. Ada pelajar yang berasa berat hendak kembali ke sekolah kerana sudah selesa dengan pembelajaran secara dalam talian di rumah. Tidak dinafikan, ada juga kumpulan pelajar yang mulai hilang minat untuk belajar. Hal ini dikatakan demikian kerana pengalaman mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian memberi kesan kepada motivasi mereka. Antara faktor yang menjejaskan keinginan mereka untuk belajar ialah gangguan internet, gaya penyampaian yang tidak menarik serta sukar diikuti, ketiadaan sumber sokongan dan gangguan daripada persekitaran. Kesannya, mereka hilang minat dan keyakinan untuk menguasai ilmu yang diajar.\nSebagai persediaan menghadapi musim persekolahan, mereka perlu memberikan fokus kepada memantapkan minda, emosi dan fizikal mereka. Kekuatan ketiga-tiga aspek ini akan membantu mereka mendepani cabaran dalam mengembalikan semangat untuk belajar dan menguasai ilmu serta pada waktu yang sama melindungi diri daripada ancaman penyakit. Untuk menguatkan minda, pelajar perlu menanam kepercayaan kepada pihak sekolah dalam memelihara keselamatan diri mereka. Pelajar harus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) semasa berada di kawasan sekolah. Mereka perlu bersangka baik terhadap pihak sekolah apabila diminta mematuhi peraturan yang ditetapkan. Pelajar juga harus percaya bahawa kebajikan mereka ialah keutamaan sekolah dan mereka boleh mengadu kepada pihak sekolah sekiranya mempunyai masalah.\nSebagai persediaan minda untuk menghadapi sesi persekolahan, pelajar harus meletakkan kepercayaan, keyakinan dan bersangka baik terhadap usaha pihak sekolah dalam memelihara keselamatan diri sepanjang mereka berada di sekolah. Dalam hal ini juga, pelajar perlu mempunyai kekuatan emosi untuk kekal tenang dan tidak dikuasai oleh kebimbangan dan ketakutan yang melampau apabila berada di sekolah. Ibu bapa dan pihak sekolah boleh membantu pelajar dengan beberapa teknik untuk mengurus emosi. Antara teknik yang perlu dikuasai pelajar ialah latihan pernafasan dan relaksasi yang betul. Latihan pernafasan seperti deep breathing boleh melancarkan peredaran darah yang membawa oksigen ke otak dan seterusnya dapat menenangkan emosi.\nUntuk latihan relaksasi, pelajar boleh mengamalkan imageri seperti membayangkan pemandangan atau senario yang menggembirakan seperti gambaran air terjun, pemandangan kehijauan hutan, binatang peliharaan atau gambar keluarga. Selain itu, pelajar juga boleh mengamalkan bacaan doa atau zikir untuk meningkatkan lagi kekuatan dalaman. Apabila emosi stabil, pelajar boleh berfikir dan bertindak secara rasional.\nIbu bapa juga perlu membantu pelajar mempersiapkan kelengkapan sekolah dan alat keselamatan diri. Pelajar pastinya berasa teruja\u00a0 untuk ke sekolah apabila ibu bapa\u00a0 menunjukkan sokongan dengan menyediakan barangan sekolah seperti buku, alat tulis, beg, pakaian dan kasut sekolah. Ibu bapa juga perlu menyediakan alat keselamatan diri seperti pelitup muka atau face shield dan pensanitasi tangan untuk gunakan semasa di sekolah. Selain itu, elok juga sekiranya ibu bapa menyediakan bekalan makanan untuk di bawa ke sekolah. Semua persediaan ini memudahkan adaptasi pelajar dengan norma baharu.\nSaya yakin apabila pelajar bersedia secara minda, emosi dan fizikal, mereka sebenarnya sedang belajar mengambil tanggungjawab terhadap kehidupan ini. Usaha mereka memerlukan sokongan daripada ibu bapa dan pihak sekolah. Secara tidak langsung, pandemik COVID-19 menggalakkan pelajar untuk peka kepada keperluan mengurus diri, mengamalkan disiplin diri dan bekerjasama.\nDr. Asmah Ismail: Trauma atau perasaan takut, cemas dan bimbang akan kemungkinan dijangkiti oleh COVID-19 memang dijangkakan berlaku dalam kalangan pelajar dan warga sekolah. Semenjak COVID-19 menyerang negara, pada setiap hari masyarakat dimaklumkan tentang angka jangkitan dan kematian yang terus meningkat. Semakin tinggi angka dicatat, semakin cemas perasaan kita memikirkan kebarangkalian kita atau ahli keluarga yang tersayang dijangkiti. Apabila keluar rumah, kita dapat melihat anggota masyarakat memakai pelitup muka, alat pengambilan suhu diletakkan di pintu masuk kedai dan amaran penanda kuning jarak satu meter di lantai. Norma baharu ini mengingatkan kita bahawa pandemik COVID-19 masih aktif menyerang dan masyarakat perlu sentiasa menjaga keselamatan diri.\nBerdasarkan senario yang sedia ada, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat segelintir pelajar yang menjadi terlebih bimbang dan takut untuk hadir ke sekolah. Mereka risau sekiranya dijangkiti apatah lagi \u00a0apabila mereka diberikan ingatan oleh ibu bapa dan ahli keluarga bahawa mereka berpotensi menjangkiti ahli keluarga lain terutamanya datuk dan nenek serta saudara mereka yang berisiko.\nBegitu pun, terdapat juga pelajar yang tidak berasa takut atau bimbang terhadap virus ini. Mereka percaya bahawa diri mereka kebal dan tidak akan dijangkiti. Kita sebenarnya sedang berhadapan dengan fasa transisi di mana gaya kehidupan,\u00a0amalan dan tingkah laku kita sedang dicabar. Fasa transisi ini juga dikenali sebagai fasa konflik kerana situasi lama sedang diancam dengan yang baharu. Kebiasaan dan cara mengurus diri dengan cara yang lama sudah tidak lagi sesuai dan perlu diganti dengan cara yang baharu.\nFasa transisi ini memerlukan cara berfikir dan tingkah laku baharu sebelum menjadi rutin harian. Hal ini memenatkan dan mengundang tekanan terutamanya kepada mereka yang tidak bersedia untuk menerima perubahan. Dalam masa setahun, gaya kehidupan telah dipaksa untuk berubah. Persoalannya, berapa ramai yang berubah secara fizikal tetapi masih berharap rutin baharu ni bersifat sementara dan amalan kehidupan akan kembali kepada yang asal?\nHarapan ini menghalang kepada pembentukan sikap baharu yang sepatutnya dijadikan amalan hidup. Sepatutnya, fasa transisi yang akan masuk usia setahun ini sudah dapat diatasi dan norma baharu telah sebati dengan diri kita. Kita sepatutnya telah menerima dan menjadikan cara bersosial dan menjaga diri norma baharu sebagai rutin. Tidak banyak yang diminta sebenarnya.\nDr. Asmah Ismail: Adalah baik sekiranya pihak sekolah mengadakan minggu orientasi untuk memperkemaskan amalan SOP dan norma baharu dalam kalangan pelajar dan warga sekolah. Peringatan, amaran, gambaran dan maklumat yang terlalu banyak boleh mengelirukan dan juga membimbangkan. Akibatnya pelajar menjadi takut untuk mendekati atau didekati oleh orang lain. Di sinilah peranan sekolah sangat penting. Semua pelajar tanpa mengkhususkan kepada pelajar baharu atau lama harus terlibat dengan minggu orientasi.\nMinggu orientasi perlu melibatkan semua guru dan pelajar tanpa mengira umur dan pangkat. Hal ini dikatakan demikian kerana kita ingin menerapkan gaya baharu yang mesti diamalkan oleh semua warga sekolah. Walaupun norma baharu dan SOP ini telah diaplikasikan di sekolah sejak tahun lalu, namun memandangkan kes yang dilaporkan dalam negara terus meningkat sehingga ke tahap yang membimbangkan, perkara ini perlu diterapkan kembali sehingga berjaya membentuk sikap bertanggungjawab terhadap keselamatan diri dan individu lain.\nSesi penerangan, bimbingan bertema dan pengurusan diri perlu menjadi keutamaan. Sesi penerangan perlu menekankan aspek tingkah laku mengikut norma baharu, penjagaan kebersihan diri dan peraturan yang harus diamalkan dan dipatuhi oleh setiap pelajar semasa berada di sekolah. Aktiviti bimbingan bertema yang merangkumi aktiviti untuk memantapkan hubungan interpersonal dan mengelak konflik seperti mengajar cara menegur yang berhemah apabila jarak fizikal dilanggar oleh pelajar lain, cara berkata \u201ctidak\u201d apabila dipaksa melakukan sesuatu yang melanggar peraturan, cara menyampaikan maklumat daripada pihak sekolah kepada ibu bapa atau penjaga, dan pengurusan emosi seperti relaksasi dan latihan pernafasan. Seterusnya, untuk aspek pengurusan diri semasa di sekolah, pelajar diajar menjaga barangan sendiri, menghormati hak milik orang lain dan memelihara infrastruktur sekolah.\nSepanjang masa orientasi berjalan, para pendidik dan warga sekolah yang lain harus menjadi contoh tauladan kepada pelajar. Peraturan ini juga seharusnya diamalkan oleh para pendidik. Guru sebagai\u00a0 individu yang dihormati dan disayangi oleh para pelajar ialah model yang paling sesuai untuk membimbing pelajar dalam mengamalkan norma baharu dalam bersosial dan menjaga kebajikan diri. Untuk makluman pelajar dan ibu bapa, SOP yang dikeluarkan oleh KPM perlu dipatuhi dan diamalkan sepanjang masa semasa berada dalam kawasan sekolah. Penjagaan jarak fizikal, pemakaian penutup muka dan penyediaan pencair pembersih kuman perlu diamalkan dengan bertanggungjawab. Hal ini merupakan cara berkelakuan baharu yang harus dijadikan rutin harian.\nApabila SOP diikuti secara teratur akan membentuk ketekalan dalam kehidupan pelajar. Pelajar melihat wujud ketekalan dalam tingkah laku di rumah, sekolah dan masyarakat sekeliling. Hal ini dapat meningkatkan keyakinan bahawa pihak sekolah mengambil berat tentang kebajikan dan kesihatan pelajar. Apabila wujud kestabilan amalan dalam semua konteks, pelajar akan dapat mengurus diri dengan lebih kemas kerana banyak kesamaan amalan di rumah dan di sekolah.\nPihak sekolah juga perlu mengaktifkan penyampaian maklumat kepada ibu bapa. Penggunaan laman web sekolah sebagai medium komunikasi rasmi antara sekolah, ibu bapa dan pelajar harus diberikan keutamaan. Sekolah boleh berkongsi maklumat tentang tindakan pihak sekolah dalam menjaga kebajikan pelajar dan murid, amalan SOP sekolah dalam mencegah jangkitan dan juga tanggungjawab ibu bapa dan penjaga dalam membantu pihak sekolah melaksanakan langkah pencegahan supaya keselamatan semua warga sekolah terpelihara. Apabila maklumat dikongsi secara telus dan sentiasa dikemas kini, hal ini akan dapat melegakan perasaan dan meningkatkan keyakinan ibu bapa tentang keselamatan anak mereka.\nOleh itu, saya percaya persekitaran sekolah yang mempamerkan budaya keprihatinan, saling menjaga kebajikan dan menghormati hak individu akan berjaya mengembalikan ketenangan dalam jiwa pelajar dan seterusnya membantu proses penyesuaian diri agar berjalan dengan lancar.\n\nDr. Asmah Ismail: Warga pendidik ialah insan yang disanjung tinggi oleh pelajar dan masyarakat. Keyakinan ini tidak pernah luntur sejak berzaman. Ketika negara menghadapi pandemik COVID-19, warga pendidik tidak pernah lepas tangan daripada tanggungjawab asas mereka. Mereka mengamalkan sikap prihatin, mengambil berat dan berusaha dengan gigih demi memastikan pelajar berjaya melengkapkan modul pembelajaran. Warga pendidik berjiwa kental dan mempunyai sifat membantu yang tinggi. Mereka sentiasa bersedia dan sanggup mencabar kemampuan diri sendiri dalam usaha mendidik pelajar.\nKita seharusnya meletakkan kepercayaan yang sangat teguh bahawa mereka ialah wira kepada pelajar. Sekiranya pelajar sanggup hadir ke sekolah dan berhadapan dengan situasi berisiko demi untuk mendapatkan ilmu, saya percaya warga pendidik akan memastikan pengorbanan pelajar tidak disia-siakan. Sama seperti pelajar, warga pendidik juga menyimpan perasaan cemas dan bimbang akan keselamatan diri dan ahli keluarga mereka. Namun begitu, untuk menghapuskan kebimbangan yang menyelubungi diri individu merupakan suatu yang mustahil kerana hal ini berlawanan dengan realiti semasa. Keberanian dan kekuatan mental dan emosi perlu dibangkitkan dalam jiwa pendidik demi melahirkan pelajar yang mampu memimpin negara pada masa hadapan.\nDalam suasana persekitaran persekolahan yang menempatkan bilangan pelajar yang ramai, perasaan bimbang warga pendidik terhadap sesetengah kumpulan pelajar pastinya tidak dapat dielakkan. Guru perlu bijak mengurus emosi semasa berurusan dengan pelajar supaya mereka dapat bersikap adil kepada semua pelajar. Sekiranya perkara ini sukar dilakukan, guru haruslah mendapatkan bantuan guru lain untuk menguruskan keperluan pelajar berkenaan. Kerjasama antara guru akan meringankan beban tanggungjawab yang ditanggung.\nDengan mengaplikasikan norma baharu dalam rutin harian dan mengamalkan tingkah laku pencegahan, warga pendidik mampu menjadi contoh tauladan untuk diikuti. Warga pendidik ialah model terbaik dalam menanam sikap baharu demi menangani pandemik COVID-19. Setiap tingkah laku, perbuatan dan kata-kata guru akan dijadikan panduan oleh pelajar. Memandangkan tingginya hormat dan penerimaan pelajar terhadap guru, warga pendidik mempunyai peluang yang luas untuk membimbing pelajar meninggalkan tingkah laku yang tidak sihat dan menggantikannya dengan tingkah laku yang sesuai.\nGuru boleh mengajar bentuk hubungan sosial yang sihat tanpa memperjudikan keperluan memelihara jarak fizikal antara individu. Keprihatinan guru memberikan kekuatan kepada pelajar untuk menjaga keselamatan diri. Cara guru menegur dan menasihati pelajar mampu meningkatkan kemahiran interpersonal bukan sahaja dalam hubungan dengan rakan di sekolah tetap juga boleh diaplikasikan dalam hubungan seharian di luar sekolah.\nWarga pendidik mempunyai pelbagai peranan yang harus diuruskan selain daripada mengajar. Guru bertindak sebagai agen penyaring di pintu masuk sekolah untuk memastikan hanya pelajar yang sihat sahaja hadir ke sekolah. Guru juga menjadi pengantara antara pelajar dengan guru kaunseling. Mereka ialah pemerhati dalam mengenal pasti pelajar yang berisiko menghadapi tekanan dan menasihatkan pelajar untuk mendapatkan bantuan guru kaunseling sekiranya perlu. Selain itu, mereka juga merupakan ahli jawatankuasa pelbagai program di sekolah.\u00a0 Kesemua peranan ini mungkin diterima tanpa perasaan tertekan sebelum pandemik melanda negara.\nHal ini mungkin menjadi pencetus stres bagi sesetengah warga pendidik. Oleh itu, dalam konteks ini, warga pendidik perlu melakukan penilaian kendiri terhadap kesihatan mental agar mereka berada pada tahap yang memuaskan. Kesihatan mental yang mantap sangat penting supaya guru dapat menguruskan tanggungjawabnya tanpa menjejaskan emosi dan fizikal mereka.\nOleh itu, warga pendidik perlu meningkatkan kemahiran mengurus diri terutama dalam mengurus emosi, kognitif dan fizikal supaya mereka dapat berfungsi pada tahap yang tinggi. Guru perlu memberikan perhatian kepada memenuhi keperluan diri dahulu sebelum mengurus orang lain. Kesihatan diri perlu berada pada tahap memuaskan supaya pelbagai tanggungjawab mendidik dan mengurus pelajar dapat dilaksanakan sebaiknya.\nDalam situasi \u201ckita jaga kita\u201d semua orang perlu memainkan peranan secara kolektif. Apabila sekolah mengamalkan persekitaran positif melalui penerapan sikap mengambil berat, menyokong, membantu dan bertoleransi, saya percaya tekanan mengurus tanggungjawab dapat dikurangkan. Pada akhirnya, dengan bermulanya sesi persekolahan tahun 2021, semua pihak sebenarnya sedang melakukan pengorbanan demi memelihara institusi pendidikan daripada ancaman virus COVID-19. Pelajar dan warga pendidik masing-masing mempunyai keluarga untuk dilindungi. Sekiranya semua pihak sedar risiko yang dihadapi, mereka akan menghargai pengorbanan setiap warga sekolah.\nDr. Asmah Ismail: Semua pihak bertanggungjawab dalam memelihara diri daripada dijangkiti COVID-19. Sekiranya hal ini berjaya dilakukan maka usaha untuk mengembalikan kualiti pengajaran dan pembelajaran yang terjejas dapat dipulihkan. Apakah bentuk \u201cperlawanan\u201d yang perlu diamalkan oleh warga sekolah dalam menangani COVID-19. Kita tiada senjata fizikal untuk menghapuskan virus ini tetapi kita mampu mengubah cara kita berhadapan dengannya melalui pengukuhan hubungan sosial. Dalam melindungi diri daripada virus, kita perlu menjaga hubungan dengan orang lain agar kekal harmoni. Perhubungan yang sihat merupakan sumber kekuatan. Hal ini memberikan tenaga yang dapat menguatkan imunisasi badan secara tidak langsung. Kita boleh menguatkan dalaman diri dengan meninggalkan beberapa tingkah laku yang tidak sihat dan menggantikannya dengan tingkah laku yang lebih baik.\nSatu daripada aktiviti yang terjejas teruk sejak pandemik COVID-19 menyerang negara ialah hubungan sosial dengan individu lain. Hubungan sosial semakin menurun kerana pembatalan banyak aktiviti sosial atau kehadiran dihadkan kepada jumlah yang tertentu. Apabila hubungan sosial berkurangan, hal ini\u00a0 secara tidak langsung menjejaskan kestabilan emosi masyarakat Malaysia yang bersifat kolektif. Hal ini dikatakan demikian kerana emosi kita banyak dipengaruhi oleh orang sekeliling. Perasaan gembira lahir melalui aktiviti berkumpulan atau apabila kita melakukan sesuatu kerja bersama-sama orang lain. Banyak sikap murni lahir dan dimantapkan melalui aktiviti berkumpulan.\nWalau bagaimanapun, sejak kes COVID-19 meningkat di Malaysia, rakyat sedikit banyak mulai mempunyai fikiran negatif terhadap sesama ahli masyarakat.\u00a0 Mereka curiga, tidak mempercayai, tidak yakin dan mementingkan diri sendiri. Perasaan marah, takut dan cemas kerap menguasai diri. Pengalaman negatif ini melahirkan tindakan agresif terhadap individu lain yang dianggap menjadi ancaman atau tindakan menjauhkan diri daripada bercampur dengan orang lain.\nDalam hal ini, tokoh psikologi di Barat, William Glasser, mencadangkan beberapa tingkah laku seperti mempercayai, menghormati, menyokong, menasihati, memotivasi, menerima dan mendengar dijadikan rutin dalam membentuk hubungan yang dapat membantu semua pihak untuk memenuhi keperluan dan tanggungjawab mereka.\nWarga sekolah perlu berusaha menerapkan kepercayaan antara satu dengan lain dan meninggalkan prasangka buruk antara mereka. Mereka perlu menghormati hak individu dan hak hidup bermasyarakat. Perbezaan dalam amalan individu diterima selagi hal ini tidak mengancam hak orang lain. Mereka perlu menyokong dan meninggalkan sikap suka mengkritik, menyalahkan dan melabel orang. Menasihati juga harus diamalkan supaya kejadian buruk dapat dielakkan.\nMereka perlu memotivasikan orang lain dengan bercakap perkara yang positif supaya kebaikan dapat dipupuk. Mereka juga perlu mengelak daripada menghukum dan mengancam antara satu dengan lain. Mereka harus mengamalkan sikap menerima dengan cuba memahami dan bertoleransi dengan keperluan individu lain. Pada akhirnya, berusahalah mengamalkan kemahiran mendengar yang bebas daripada menilai dan membuat tafsiran sendiri. Mendengar secara empati akan dapat meningkatkan kefahaman kepada perasaan dan kesusahan pihak lain. Sekiranya semua warga sekolah dapat mengamalkan tingkah laku positif yang dinyatakan tadi, satu persekitaran harmoni pasti akan dapat diwujudkan di sekolah. Apabila corak hubungan berjalan secara tenang, fokus kepada tanggungjawab utama dapat dikendalikan secara efisien.\nDr. Asmah Ismail: Saya melihat peranan ibu bapa sangat penting dalam membantu pelajar mengadaptasi perubahan yang sedang berlaku sama ada dari aspek perhubungan sosial mahupun pendidikan. Apa-apa yang dialami oleh pelajar milenium ini sangat berbeza dan belum pernah dialami oleh ibu bapa. Ibu bapa tidak pernah belajar secara dalam talian semasa di sekolah rendah dan menengah. Mereka juga tidak pernah perlu mengamalkan penjarakan sosial semasa berinteraksi dengan kawan-kawan. Berbeza daripada pelajar pada hari ini, pembelajaran dan hubungan sosial berlaku secara maya. Terdapat ibu bapa yang berusaha menyelami perasaan dan pemikiran anak-anak namun tidak kesampaian kerana pengalaman yang terhad.\nWalau apa-apa pun sikap yang dipunyai oleh ibu bapa terhadap pembukaan semula sekolah kelak, mereka terpaksa akur akan keperluan pelajar untuk menghadirkan diri ke sekolah dan menamatkan pengajian. Sebagai persediaan untuk menghadapi sesi persekolahan pada tahun 2021, saya ingin memfokuskan kepada peranan ibu bapa dalam membantu pelajar mengamalkan gaya hidup sihat melalui penjagaan diri secara holistik di rumah dan di sekolah. Penjagaan diri merupakan\u00a0 sikap yang perlu terapkan oleh semua pelajar.\nPenjagaan diri yang patut diamalkan merangkumi penjagaan diri fizikal, emosi, intelek, kerohanian dan personal. Penjagaan diri ini seperti kita menjaga kebajikan diri dan pada masa yang sama memulihkan dimensi diri yang terjejas. Untuk penjagaan diri fizikal, ibu bapa perlu memastikan anak mendapat tidur yang secukupnya pada waktu malam, mandi, memakai pakaian bersih, minum air sekurang-kurangnya dua liter sehari, mengamalkan pemakanan berkhasiat, bersenam dan mengamalkan kebersihan diri sepanjang masa.\nUntuk penjagaan diri emosi pula, anak boleh melibatkan diri dengan aktiviti yang boleh mencetuskan perasaan gembira atau emosi positif dalam diri mereka. Contoh aktiviti yang boleh dilakukan termasuklah membaca novel, menonton filem, menari, menyanyi, melukis, bermain dengan binatang peliharaan, menulis dan berjumpa kaunselor jika perlu. Seterusnya untuk penjagaan diri intelek pula, ibu bapa membantu menyediakan aktiviti yang boleh merangsang minda anak seperti meneroka topik baharu, belajar kemahiran, menyelesakan silang kata atau teka-teki, bermain catur, menonton dokumentari dan mempunyai hobi. Aktiviti ini membantu anak terus aktif secara minda dan seterusnya mengurangkan perasaan tertekan dan bosan menghadap buku akademik dan tugasan sekolah. Untuk penjagaan diri kerohanian, anak boleh memilih aktiviti yang dapat mendekatkan dirinya dengan alam dan penciptanya. Ibu bapa perlu menggalakkan anak untuk melakukan aktiviti seperti sembahyang, berdoa, berzikir, membaca buku agama, meditasi, yoga, menikmati alam, melihat tumbuh-tumbuhan di sekitar rumah dan muhasabah atau refleksi diri. Aktiviti seperti ini memberikan ketenangan dan mengembalikan tenaga yang hilang.\nPada akhirnya, untuk penjagaan diri personal, ibu bapa membantu anak mengurus tanggungjawabnya sebagai pelajar dan anak. Antara aktiviti yang berkaitan dengan peranan sebagai pelajar ialah hadir ke sekolah pada masa yang sepatutnya, mengikut arahan guru, membaca buku sekolah, mengulang kaji pelajaran, menyelesaikan kerja sekolah dan mengikut peraturan sekolah. Sebagai anak pula, mereka harus membantu kerja di rumah dan mendengar nasihat ibu bapa.\nKelima-lima aspek penjagaan diri ini sekiranya diamalkan secara konsisten akan memantapkan diri anak sebagai individu dan pelajar yang sihat dari segi fizikal, emosi, intelek, kerohanian dan personal. Apabila diri mereka\u00a0 mantap dari segala dimensi, mereka akan cenderung untuk mengamalkan tingkah laku yang bertanggungjawab dalam aktiviti seharian. Untuk merealisasikan keadaan ini, ibu bapa perlu bersikap proaktif, memahami dan menyokong usaha anak untuk mengurus penjagaan diri mereka." "BoBoiBoy Sepuluh Tahun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGenap 10 tahun sejak kali pertama diperkenalkan pada 13 Mac 2011, Monsta mengajak peminat siri animasi BoBoiBoy di seluruh negara untuk meraikan sambutan bertemakan \u201cBoBoiBoy Beyond\u201d dengan pelbagai aktiviti yang menarik sepanjang tahun.\nSyarikat Monsta dalam kenyataan pada 16 Mac 2021 memaklumkan bahawa sambutan dimulakan dengan tayangan semula episod satu dari musim pertama BoBoiBoy dengan lima minit adegan baharu yang memaparkan pertalian antara BoBoiBoy dengan ayahnya, Amato.\nKetua Pegawai Eksekutif Monsta, Nizam Abd Razak, dalam laman Facebook rasminya sebelum ini berkata, sambutan ulang tahun BoBoiBoy itu bakal diraikan sepanjang tahun ini.\n\u201cEpisod khas BoBoiBoy Extended Version Episod 1, Musim 1 ini hanyalah permulaan daripada kami sebagai hadiah kepada para peminat setia BoBoiBoy dan Monsta,\u201d ujarnya.\nMenurut kenyataan itu, episod khas berkenaan telah menjadi sohor kini (trending) dalam laman sosial Twitter di Malaysia dan Indonesia dengan tanda pagar #BoBoiBoyBeyond10 dan reaksi positif serta keterujaan penonton turut membanjiri ruangan komen media sosial BoBoiBoy setelah 10 tahun penantian peminat untuk melihat interaksi generasi adi wira tempatan itu." "Komik Medium Pembelajaran Baharu?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJika diberikan pilihan antara buku cerita biasa dengan buku komik kepada kanak-kanak sekolah rendah, buku yang manakah menjadi pilihan? Pastinya kanak-kanak ini akan memilih buku komik. Mungkin sebab utamanya adalah kerana persembahan cerita menerusi gambar yang berwarna-warni, serta ayat berbentuk perbualan yang biasa tetapi ringkas, bukan sahaja menarik perhatian mereka, malah juga memudahkan dan mempercepatkan pemahaman mereka.\nKetika membaca komik, kanak-kanak dapat mengikuti ceritanya dan memahami maksudnya. Jika pun lambat atau tidak faham dengan membaca tulisan, mereka boleh merujuk gambar bagi membantu memahaminya. Pada hakikatnya, komik berjaya menarik perhatian kanak-kanak untuk mendekati buku seterusnya menimbulkan keinginan untuk membaca, atau setidak-tidaknya mendapatkan buku itu. Ibu bapa, orang awam, malah para guru sedar dan bersetuju jika dikatakan komik mampu menjadi pemupuk minat dan keinginan kanak-kanak untuk membaca. Dengan itu, kanak-kanak mampu menjadikan komik sebagai bahan bacaan sampingan atau tambahan yang diminati.\nPersepsi umum dan pandangan negatif mata kasar masyarakat, komik sebagai bahan bacaan murahan yang tiada nilai pembelajaran atau tidak mampu dijadikan saluran pengetahuan terutama bagi kanak-kanak, perlu diketepikan. Terdapat juga sebilangan ibu bapa yang menganggap komik tidak memberikan sebarang faedah dan pengetahuan kepada anak-anak, malah dianggap suatu pembaziran. Lantaran itu, ibu bapa memilih buku yang dirasakan mampu merangsang minda dan menambah pengetahuan anak, asalkan bukan komik. Sewajarnya dan sudah tiba masa perasaan sinikal yang wujud dalam sanubari ibu bapa selama ini perlu disingkirkan.\nDi sesetengah negara, komik telah dijadikan bahan bacaan yang berkedudukan sama penting dengan buku pelajaran. Contohnya di Jepun, Korea dan China, komik sudah diterima menjadi bahan penting dalam pendidikan peringkat kanak-kanak. Mungkin di negara kita, komik boleh dijadikan sebagai sumber bahan bacaan untuk menarik minat kanak-kanak untuk membaca. Komik juga boleh dijadikan sebahagian daripada buku teks sekolah, yang berfungsi seiring dengan buku teks yang lain. Dengan wujudnya minat dan keseronokan membaca buku komik, lama-kelamaan mereka akan membaca buku sekolah yang lain. Yang penting ialah cara untuk memupuk minat dan mewujudkan keseronokan anak-anak untuk membaca. Oleh itu, penggunaan komik boleh menjadi satu daripada cara tersebut.\nSebagai bahan bacaan popular, kita dapat lihat banyak komik yang dihasilkan dan pelbagai jenis komik pula yang terdapat dalam pasaran. Sudah tentu permintaan tinggi daripada pembaca menyebabkan syarikat penerbitan melibatkan diri dalam penerbitan komik. Dahulu, kebanyakan komik diterbitkan secara bersiri dan berkonsepkan majalah serta sebagai hiburan semata-mata. Namun begitu, sekarang, komik diterbitkan dalam pelbagai bentuk serta dengan pelbagai fungsi.\nDari segi definisi, komik ialah cerita bergambar yang disusun daripada gambar tidak bergerak, sehingga membentuk suatu cerita yang mudah difahami. Komik termasuk dalam karya seni kerana memerlukan keterampilan dalam menggambar dan menyusun ayat sehingga memberikan makna pada cerita yang disampaikan. Komik juga merupakan medium yang dapat memberikan model yang boleh digunakan untuk meningkatkan dan mengembangkan keperibadian kanak-kanak. Malah komik boleh dijadikan saluran komunikasi, saluran untuk menyampaikan cerita, maklumat,\u00a0 termasuk hal ilmiah, seperti genre sastera kanak-kanak yang lainnya. Oleh itu, dapat kita simpulkan bahawa komik ialah satu daripada medium yang berfungsi untuk menyampaikan mesej dan cerita melalui ilustrasi gambar untuk mendeskripsi cerita, yang sifatnya mudah dicerna dan menarik dibaca.\nJika dilihat secara lebih mendalam, komik merupakan medium yang mempunyai sifat sederhana dan lebih kepada personal sehingga mempamerkan sifat bermaklumat dan berpendidikan, tetapi tidak lari daripada kejelasan dan mudah difahami. Dalam bidang pendidikan dan sebagai medium pembelajaran, komik merupakan alat yang berfungsi untuk menyampaikan pelbagai maklumat pembelajaran. Dalam konteks ini, pembelajaran merujuk proses komunikasi antara murid atau pelajar dengan sumber pembelajaran, iaitu buku atau komik menerusi guru. Komunikasi pembelajaran akan berjalan dengan maksimum jika maklumat pembelajaran disampaikan secara jelas, mudah dan menarik.\nSecara ringkasnya, terdapat beberapa kelebihan apabila komik digunakan dalam pembelajaran. Pertama, komik dapat memberi galakan dan motivasi kepada murid dalam pembelajarannya. Kedua, dengan menampilkan gambar, komik dapat meningkatkan kualiti pembelajaran murid. Ketiga, komik mampu mencetuskan minat membaca dan mengarahkan mereka yang kurang berminat membaca supaya mendisiplinkan diri untuk membaca. Keempat, komik merupakan medium pembelajaran yang bersifat kekal seperti buku pelajaran yang lain. Kelima, komik merupakan sebahagian daripada budaya popular yang boleh menjadi tarikan utama untuk membantu murid dalam pembelajaran mereka.\nSebagai medium pembelajaran, komik juga tidak terkecuali daripada kelemahan tertentu. Antaranya ialah komik mampu mengehadkan dan menghilangkan sifat ingin tahu atau imaginasi murid. Peranannya sebagai medium pembelajaran masih belum terlaksana memandangkan belum bermula penggunaan komik untuk tujuan ini, dan penggunaan media komik hanya berkesan diberikan kepada murid yang meminati komik sahaja. Dengan adanya kelemahan ini, maka\u00a0penyusunan bahan mengajar menerusi komik perlu dilakukan dengan tersusun dan berdisiplin, iaitu gambar pada komik tidak disajikan secara berlebihan agar tidak berlaku ketandusan idea dan imaginasi murid kerana minda mereka tidak berkembang.\nDalam usaha mencungkil kembali sejarah awal kegiatan seni lukis komik di Malaysia, wujud masalah dari segi kekurangan bahan dokumentasi yang berkaitan dengan bidang ini. Kesenian komik yang tumbuh subur semenjak sekian lama dahulu tidak pernah mendapat perhatian yang sewajarnya daripada banyak pihak, termasuk para penyelidik dan pengkaji bentuk kebudayaan di negara kita.\nPandangan sempit sesetengah golongan terhadap kepentingan budaya komik dalam mewujudkan cita rasa popular harus diketepikan. Komik dikatakan mewakili suatu bentuk kehidupan seni yang penuh dengan khayalan, tanpa memberikan faedah terhadap aliran kemajuan pemikiran manusia. Akan tetapi, golongan itu juga tidak pernah menyedari betapa khayalan yang dicetuskan oleh komik telah banyak merintis jalan ke arah kemajuan teknologi moden kini.\nKomik mula berkembang pesat dalam bentuk moden di negara kita pada sekitar tahun 1930-an dan dipercayai mempunyai hubungan yang rapat dengan perkembangan bidang persuratkhabaran yang mula memasuki era kebangkitan nasionalisme. Peranan akhbar dan majalah pada sekitar tahun 1930-an amat besar terhadap perkembangan komik serta para pelukisnya. Pada masa yang sama, banyak akhbar dan majalah yang membantu dalam perkembangan komik, kartun dan karikatur seperti\u00a0Warta Jenaka, Lembaga, Utusan Melayu, Majlis, Utusan Kanak-kanak\u00a0dan lain-lain.\nAliran yang memudahkan persembahan komik dalam bentuk yang kita lihat pada hari ini bermula di Eropah. Beberapa orang pelukis di Eropah telah melahirkan bentuk komik yang khusus, yang pada akhirnya menjadi ikutan para pelukis di seluruh dunia. Perkembangan komik di negara kita semakin menonjol antara tahun 1950-an hingga 1970-an. Banyak penulis dan pelukis komik muncul dan semakin banyak komik diterbitkan. Antaranya termasuk Saidin Yahya menerusi komik Puteri Langkawi, Mohamad Salehuddin dengan komik Si Kumbang, Halim Teh dengan komik popular sebanyak 11 siri berjudul Keris Berpuaka, Panglima Hitam. Kemudian komik berunsur aksi mula diterbitkan, seperti Badang, Hang Tuah, Panglima Awang dan Helang Hitam. Pada ketika itu, banyak syarikat penerbitan yang menghasilkan komik, malah ada yang mengkhususkan bidang penerbitannya pada buku atau majalah yang bercirikan komik. Antaranya ialah Sinaran Brothers, Pustaka Antara, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Melayu Raya Press, Geliga United dan beberapa lagi.\nSiri kartun\u00a0Din Teksi yang disiarkan dalam Utusan Malaysia amat popular pada tahun 1980-an. Menerusi komik ini, pelukisnya,\u00a0Nan melihat keharmonian hidup masyarakat majmuk melalui imaginasi humor seorang pemandu teksi separuh usia yang berurusan dengan pelbagai tingkah laku masyarakat kota dalam semua peringkat. Pelukis dan pencerita komik dan kartun terkenal, Lat, melalui siri\u00a0Si Mamat\u00a0mengeksploitasi watak kanak-kanak melalui kenakalannya, bagi mencetuskan kritikan secara tidak langsung terhadap kehidupan sosial masyarakat Malaysia.\nPada era 1970-an dan 1980-an, muncul beberapa orang penulis komik terkenal seperti Raja Hamzah, Saidin Yahya, Halim Teh\u00a0dan sebagainya. Mereka sering mengambil inti pati nasionalisme sebagai bahan untuk menghasilkan komik. Jaafar Taib\u00a0dengan siri\u00a0Hang Tuah\u00a0secara langsung mengangkat nilai keberanian orang Melayu dan pengaruhnya terhadap politik Asia Nusantara.\nKomik Raja Hamzah yang sangat popular melalui akhbar\u00a0Berita Minggu\u00a0ialah siri\u00a0Toyol, yang mengisahkan\u00a0seorang penduduk\u00a0dengan toyol belaannya. Komik ini menjadi ikutan dan menarik minat pelbagai golongan pembaca. Kemunculan siri Toyol mengembalikan populariti Raja Hamzah dalam kalangan peminat komik. Siri Toyol menjadi begitu popular sehingga timbul pernyataan daripada pembaca yang mengatakan bahawa mereka membeli akhbar tersebut semata-mata untuk mengikuti siri tersebut. Raja Hamzah juga menghasilkan komik seperti\u00a0Sang Kancil, Anak Toyol, Ali\u00a0Baba, Kalong Noryati, Panglima Nayan, Potret Puaka, Ratna Lela dan Mat Setinggan. Dua buah komik beliau juga mendapat tempat di akhbar\u00a0New Straits Times, iaitu komik\u00a0Tun Perak\u00a0dan\u00a0Tun Fatimah.\nPelukis Rejabhad yang muncul dengan siri komiknya Konstabel Jabit, juga disiarkan dalam akhbar dan turut mendapat sambutan yang menggalakkan. Kisah dan suasana kehidupan pasukan keselamatan yang menjadi inti pati komiknya, menjadi bukan sahaja bahan hiburan, malah pengajaran, teladan dan sindiran yang biasa tetapi mencuit hati. Banyak lagi pelukis dan penulis komik yang berjaya menghasilkan karya mereka dalam bentuk buku dan sisipan dalam akhbar dan majalah.\nKemunculan pelukis Lat menerusi cerita Budak Kampung berjaya menempatkan dunia komik dan kartun di tempat yang amat istimewa pada kaca mata masyarakat berbilang kaum. Kisah zaman persekolahan dan suasana kehidupan kampung dan pekan kecil tempatnya, berjaya menarik minat ramai. Komik Budak Kampung telah diterjemahkan dalam beberapa bahasa. Lat juga menghasilkan beberapa buah komik dan kartun lagi dalam bentuk buku dan semuanya mendapat sambutan yang amat menggalakkan.\nDalam tempoh beberapa tahun belakangan ini, penghasilan komik dalam bentuk sisipan dalam akhbar dilihat berkurangan, walaupun masih ada dalam majalah. Walau bagaimanapun, tiada cerita yang berjaya memikat hati ramai seperti yang dicetuskan oleh penulis dan pelukis komik sebelum itu. Namun demikian, penghasilan komik dalam bentuk buku dilihat ketara. Tinjauan penulis ke beberapa buah kedai buku di ibu negara mendapati berjenis-jenis komik diterbitkan dan berada dalam pasaran. Yang menariknya, komik yang dihasilkan itu bukan sahaja disasarkan kepada kanak-kanak, malah ada komik yang diterbitkan untuk golongan remaja dan siswa, malah golongan wanita.\nMungkin tidak keterlaluan jika dikatakan, penerbitan komik semakin rancak. Banyak penerbit yang melibatkan diri dalam penerbitan ini dan jenis komik yang dihasilkan merangkumi pelbagai bidang, seperti pengembaraan, penciptaan, sains fiksyen, angkasa lepas, kehidupan haiwan, kemasyarakatan, perlumbaan dan sukan, malah percintaan. Dengan pelbagai genre yang dikaitkan dengan komik, tidak mustahil jika komik juga digunakan sebagai satu daripada medium pembelajaran dan pendidikan di negara kita." "Internet Utiliti Ketiga\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCuba bayangkan sekiranya rumah baharu yang anda beli tidak mempunyai capaian internet? Sudah tentu, keadaan itu akan menyusahkan dan menyebabkan banyak gangguan kepada kehidupan seharian anda.\nHal ini bermakna, seseorang itu bukan sahaja tidak boleh melaksanakan aktiviti seharian mereka seperti mendapatkan maklumat terkini, membuat pembayaran bil air dan elektrik secara dalam talian dan membeli barangan keperluan.\nOleh itu, kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah melancarkan Pelan Jalinan Digital Negara atau ringkasnya JENDELA pada 29 Ogos 2020 lalu yang bertujuan untuk memastikan capaian internet dapat dinikmati oleh semua rakyat di negara ini. Pelaksanaan JENDELA yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, menjadi titik tolak penting dalam usaha memastikan liputan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar yang lebih baik dapat disediakan kepada rakyat. Oleh itu, pihak industri perlu komited untuk mencapai sasaran yang ditetapkan di bawah JENDELA menerusi pendekatan secara berfasa, iaitu Fasa 1 (2020-2022) dan Fasa 2 (2022-2025). Di bawah Fasa 1 (2020-2022) projek JENDELA, berikut sasaran yang perlu dicapai:\nPelancaran Gerbang Sabah oleh Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengukuhkan komitmen kerajaan dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk memajukan kemudahan jalur lebar di seluruh Sabah melalui inisiatif JENDELA.\n\u00a0\nSementara itu, bagi Fasa 2 (2023-2025), iaitu peralihan kepada generasi kelima (5G) akan disusuli selepas platform yang kukuh dalam Fasa 1 dapat dicapai, iaitu selaras dengan perancangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).\nPada lewat tahun lalu, pihak SKMM telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri untuk memperkenalkan satu dasar yang merangkumi capaian internet sebagai sebahagian antara keperluan utiliti asas di kawasan perumahan. Pengerusinya, Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek menjelaskan bahawa kemudahan tersebut adalah penting bagi mempercepatkan proses transisi negara kepada teknologi 5G, selain menangani isu mengenai pembinaan menara telekomunikasi.\n\u201cPenduduk mahukan perkhidmatan internet namun mereka tidak mahu menara telekomunikasi didirikan di belakang rumah mereka. Oleh hal yang demikian, satu cara untuk mempercepatkan proses berkenaan adalah dengan \u00a0kerajaan negeri menjadikan internet sebagai utiliti ketiga, sama seperti bekalan air dan elektrik,\u201d katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan BERNAMA TV, pada Oktober 2020.\nTambah \u00a0Fadhlullah, SKMM sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan pandangan, bantuan dan untuk mempercepatkan proses berkenaan. Banyak pihak sebenarnya yang berfikiran terbuka dan tampil membantu pihak industri dengan beberapa buah negeri telah melaksanakan beberapa dasar yang dapat membantu mencapai matlamat tersebut.\nApa-apa yang kita dapat pelajari sepanjang tempoh pandemik COVID-19 dan perubahan dalam pentadbiran kerajaan, peranan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah sangat kritikal dalam memastikan kelulusan dapat dipercepatkan agar hasrat menjadikan telekomunikasi sebagai utiliti ketiga dapat menjadi kenyataan. Dengan kerjasama yang diberikan, proses pembinaan infrastruktur dan meletakkan asas kepada transisi ke arah 5G juga akan dapat dipercepatkan.\nPada masa yang sama, kepantasan kerajaan negeri dan PBT dalam meluluskan permohonan akan memberikan impak positif kepada kemasukan lebih banyak pelaburan oleh syarikat telekomunikasi sekali gus mencetuskan kesan limpahan ekonomi kepada pembangunan sesebuah lokasi atau negeri.\nSementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato\u2019 Saifuddin Abdullah, dalam satu hantaran di laman Facebooknya menyifatkan pengiktirafan internet sebagai utiliti ketiga pada pembentangan Belanjawan 2021 merupakan satu langkah yang tepat dan penanda aras penting dalam mempercepat kerja dan memperkukuh infrastruktur digital negara. Langkah berkenaan juga mampu menyelesaikan masalah terbesar penyediaan infrastruktur telekomunikasi di sesuatu kawasan ekoran kelewatan kelulusan kebenaran daripada PBT.\nDengan pengiktirafan ini juga, penggunaan internet dalam e-dagang, ekonomi gig dan pendidikan secara dalam talian meningkat dengan ketara sekali gus mempercepatkan lagi proses pendigitalan ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0). Walau bagaimanapun, usaha untuk menjadikan internet sebagai utiliti ketiga tidaklah semudah yang dijangka. Menurut Saifuddin, terdapat beberapa faktor berkaitan kebenaran merancang (KM) seperti penyediaan rizab kemudahan komunikasi atau ruang khas, kebenaran menggunakan struktur pelbagai fungsi bagi mengoptimumkan penggunaan tanah dan penyelarasan perundangan, garis panduan dan kod teknikal perlu diberikan perhatian.\n\u201cMana-mana pihak yang ingin memajukan kawasan perumahan, bandar, perindustrian dan sebagainya di kawasan PBT perlu mendapatkan kelulusan KM. Kelazimannya, pemaju menyediakan perancangan dua \u00a0utiliti, iaitu air dan elektrik, tetapi tidak semestinya merancang tentang capaian internet kerana hal ini tidak dikira sebagai utiliti. Perancangan ini hanya timbul setelah projek pembangunan siap dibina. Inilah faktor utama mengapa kerja infrastruktur digital mengambil masa yang lama untuk disiapkan,\u201d katanya.\nLantaran itu, isu berkenaan telah dibawa ke mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara ke-36 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 27 Oktober 2020 \u00a0dan mesyuarat bersetuju dengan permohonan yang dibuat oleh KKMM. Perkara tersebut merupakan sebahagian daripada cadangan KKMM untuk dimasukkan \u00a0dalam Garis Panduan Perancangan Infrastruktur (GPP-I) untuk memudahkan cara penyediaan infrastruktur digital.\nGPP-I \u00a0akan dapat mengatasi tiga cabaran yang dihadapi dalam perancangan infrastruktur digital, iaitu tiada sumber rujukan bagi perancangan infrastruktur digital bagi pembangunan baharu, kelewatan penyediaan perkhidmatan komunikasi dan kos yang tinggi, masa yang lama serta bantahan pengguna. Melalui GPP-I, \u00a0akan dapat \u00a0mewujudkan tiga \u00a0manfaat kepada rakyat, iaitu rakyat akan mendapat perkhidmatan komunikasi yang lebih cepat, kapasiti yang lebih tinggi dan kualiti yang lebih baik.\nSesungguhnya, usaha untuk mendapatkan persetujuan kesemua negeri untuk mengiktiraf internet sebagai utiliti ketiga sedang giat dijalankan. Beberapa buah negeri, seperti Johor, Kedah dan Melaka telah memulakan proses bagi menguatkuasakan dasar berkenaan dan adalah diharapkan lebih banyak negeri lain akan mengorak langkah yang sama." "Cetusan Suara Generasi Muda dalam Debat Terbuka Keluarga Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Debat Terbuka Keluarga Malaysia yang diadakan di Aras Enam, Wisma DBP bersempena dengan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu diteruskan untuk hari kedua, bermula pada pukul 10.00 pagi hari ini. Persembahan debat ini menampilkan 10 kumpulan daripada blok kerajaan dan pembangkang yang merupakan alumni debat dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) serta pelajar sekolah terpilih dari seluruh negara. Debat Terbuka Keluarga Malaysia pada pagi ini dimulakan dengan usul yang bertajuk \u201cDemi Menjunjung Perkara 152, Mandat Penguatkuasaan Perlu Diberikan kepada DBP\u201d. Usul ini menjadi persembahan untuk debat sesi pertama yang menampilkan pendebat daripada alumni IPT, iaitu Shahrulnizam Ahmad, Mohd Hafiz Hood dan Zaifila Farina daripada blok kerajaan; dan Azizul Hakim, Azri Zahier dan Mohamed Zulfadli selaku pembangkang; manakala tugas Yang Dipertua (YDP) digalas oleh Shameerul Samad.\nUsul yang bertajuk \u201cSemangat Kenegerian Penghalang Penyatuan Keluarga Malaysia\u201d pula menjadi persembahan debat bagi sesi kedua dengan menyaksikan pendebat dari Sekolah Menengah Sains (SMS) Banting, iaitu Irdina Tihani, Irfan Danier dan Tengku Yasser sebagai blok kerajaan; dan Aiesya Salsabila, Ali Hydar dan Muhd Shah Iqbal daripada blok pembangkang. Sementara itu, Nur Insyirah bertindak sebagai YDP. Kehangatan Debat Terbuka Keluarga Malaysia diteruskan dengan usul ketiga yang bertajuk \u201cRepresentasi Kaum dalam Sektor Awam Mengukuhkan Keluarga Malaysia\u201d,\u00a0 yang menjadi pilihan penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Pagoh, iaitu Ummi Khalilah, Syamsul Azam dan Muhd Arif Hakimi sebagai kerajaan, manakala pelajar dari SMS Selangor, iaitu Izhar Syahmi, Izz Ziqry dan Nurkhairiah Sofea pula bertindak sebagai pembangkang, dan Nur Suraya ditampilkan sebagai YDP.\nSeterusnya, usul bertajuk \u201cAnak Muda Kita Sudah Bijak Berpolitik\u201d menjadi usul pilihan dalam sesi perdebatan pada petang ini. Usul ini dibentangkan oleh pelajar dari Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), iaitu Mohd Faris Fitri, Mohd Asrarudin dan Mohamad Irfan di pihak kerajaan. Sementara itu, pelajar dari Sekolah Seri Puteri (SSP), iaitu Damia Qistina, Wan Nur Ashela dan Damia Qaisara berada di pihak pembangkang. Usul ini dipengerusikan oleh Alif Najmi.\nSebagai penutupan sesi perdebatan pada petang ini, penuntut dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Malaya (UM) masing-masing bertindak sebagai blok kerajaan dan pembangkang yang membahaskan usul bertajuk \u201cPerang Dagang: Tindakan Berkecuali Menguntungkan\u201d. UPNM diwakili oleh Nur Insyirah, Syamir Aizuddin dan Danial Haikal, manakala UM pula diwakili oleh Nur Zannah, Ahmad Shamel dan Mohd Nadjwan, dan tugas YDP disandang oleh Akmal Hariz.\nUsul yang dibentangkan pada hari kedua Debat Terbuka Keluarga Malaysia membuktikan bahawa generasi muda mampu menyuarakan cetusan pendapat yang berkaitan dengan isu semasa yang sedang berlaku di dalam negara mahupun isu antarabangsa. Debat Terbuka Keluarga Malaysia bakal melabuhkan tirai pada 24 Mei 2022 dengan lebih banyak usul yang akan dikupas dan diperbincangkan." "Deposit Individu di UAE Meningkat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDubai, deposit individu di bank UAE terus meningkat pada suku terakhir tahun 2020 meskipun terdapat banyak cabaran ekonomi yang disebabkan oleh pandemik COVID-19. \u00a0Menurut portal Arab News, Bank di UAE mencatatkan deposit individu sebanyak 13 bilion dirham ($3.5 bilion) pada suku keempat tahun lalu. Jumlah ini menaikkan baki deposit terkumpul kepada 493.9 bilion dirham.\nBank pusat itu mengatakan bahawa deposit ini menyumbang sebanyak 26.2 peratus daripada jumlah baki pelaburan yang berjumlah sebanyak 1.89 trilion dirham pada akhir tahun 2020. Peningkatan ini berlaku ketika banyak bank di rantau ini terpaksa berhadapan dengan krisis kesihatan global yang menyaksikan banyak perniagaan dan peminjam individu terpaksa berjuang untuk membayar pinjaman." "Sukarelawan Dicari\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSemua pihak dijemput untuk menjadi sukarelawan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan memohon menyertai inisiatif Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac), bermula hari ini.\nBadan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) memaklumkan, pendaftaran MyVac boleh dibuat melalui laman web\u00a0www.myvac.com.my, yang bertujuan untuk membantu petugas barisan hadapan dalam urusan penyampaian vaksin kepada penerima.\nMyVac terbuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas serta sihat tubuh badan dan mereka boleh mendaftar satu daripada dua kategori yang ditawarkan, iaitu sebagai sukarelawan am atau sukarelawan perubatan. Sukarelawan MyVac akan ditugaskan di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) di seluruh negara. Mereka juga boleh memilih lokasi dan masa mengikut kelapangan masing-masing. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), satu sesi latihan secara maya juga akan diberikan kepada sukarelawan yang memenuhi kriteria yang dicari.\nTerdahulu, inisiatif MyVac dilancarkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin. Majlis pelancaran itu dihadiri oleh Pengerusi Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) yang juga Tunku Temenggong Kedah, Datuk Seri Diraja Tan Sri Dr Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu\u2019adzam Shah; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad." "Vaksin COVID-19: Alami Kesan Serius, Singapura Beri $2000\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPenerima vaksin COVID-19 di negara jiran, Singapura yang mengalami kesan kesihatan serius\u00a0akibat pemvaksinan COVID-19 boleh membuat permohonan untuk\u00a0menerima bantuan kewangan bermula esok, 17 Mac 2020.\nMenurut Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura, permohonan di bawah Program Bantuan Kewangan Kecederaan Vaksin (VIFAP) bagi pemvaksinan COVID-19 itu perlu dihantar bersama-sama dengan maklumat perubatan oleh doktor yang merawat mereka.\nThe Straits Times\u00a0melaporkan bahawa sebuah panel klinikal bebas akan menyemak semua permohonan tersebut untuk melihat sejauhmanakah kesan yang dialami dan perkaitannya dengan vaksin yang yang diterima individu yang terlibat.\nWalau bagaimanapun, jumlah bayaran tersebut boleh dituntut sekali sahaja dan akan diberikan berdasarkan betapa teruknya kesan vaksin tersebut terhadap kesihatan penerimanya.\u00a0Mereka yang \u00a0menuntut pula perlu dirawat di hospital dan menerima rawatan perubatan. Sebaik-baik sahaja mereka pulih daripada kesan kesihatan tersebut, mereka layak menerima sebanyak $2000 atau kira-kira RM6100.\nSementara itu, mereka yang memerlukan rawatan unit pergantungan tinggi \u00a0atau rawatan intensif dan kemudian pulih akan menerima sebanyak $10 000 (RM30 500). Penerima vaksin yang meninggal dunia atau mengalami kecacatan yang teruk dan tetap akibat pemvaksinan akan menerima $225 000 (RM68 800)." "Myanmar Menangis Lagi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nApalah maknanya kuasa tanpa rakyat dan siapalah rakyat tanpa kuasa. Ungkapan ini barangkali dapat menjelaskan apa-apa yang sebenarnya sedang berlaku di Burma selepas tahun 1947 hingga tragedi terkini, iaitu pada 1 Februari 2021. Garis mula 1948 merupakan lembaran penting yang menggambarkan pengorbanan pejuang kemerdekaan dalam melestarikan sebuah negara tradisional kepada sebuah persyarikatan moden dengan nama baharu, iaitu Myanmar.\nNama seperti Jeneral Ne Win, Aung San, U Nu dan U Saw, menjadi jalur cerita kisah perjuangan politik Myanmar yang berlangsung selama 73 tahun lalu dan kini masih menghiasi perjuangan politik rakyatnya pada hari ini. Peristiwa rampasan kuasa dengan episod penentangan bukanlah perkara baharu. Maka, untuk melihat bagaimana keadaan konflik ini berlangsung dengan begitu lama, haruslah kita membuka lembaran sejarah penubuhan negara ini. Myanmar melalui tiga fasa pembentukan perlembagaan negara moden, iaitu fasa\u00a0pertama tahun (1947 \u2013 1962), fasa kedua (1973 \u2013 974) dan fasa ketiga (1998 \u2013 2008).\nSelepas merdeka pada tahun 1948, perlembagaan pertama digubal oleh seorang Hakim Mahkamah Tertinggi Burma, iaitu Chan Htoon. Perlembagaan ini bermodelkan negara kesatuan sosialis. Hal ini menggantikan \u00a0Akta Burma 1935 yang dibentuk oleh British dan Perlembagaan Burma semasa Pendudukan Jepun. Dalam tempoh 14 tahun fasa pertama, aliran politiknya berkembang melakar dengan pelbagai ranjau. Peranan Jeneral Ne Win yang menjadi Ketua Turus Angkatan Tentera atau dikenali sebagai Tatmadaw banyak terpalit dengan pelbagai konspirasi, rahsia sulit dan aktiviti tentera rahsia yang terus terpendam bersama-sama beliau selepas menghembus nafas yang terakhir dalam tahanan rumah pada usia 92 tahun.\nSelepas merdeka pada tahun 1948, negarawan dan politikus U Nu menerajui pemerintahan Myanmar. Beliau menjadi Perdana Menteri yang pertama. Pada 4 Januari 1948, Myanmar dengan rasminya menjadi negara berdaulat dengan penubuhan kabinet kerajaan berparlimen.\nSebelum kisah bahagia ini muncul, tragedi berdarah Aung San mencemarkan kewibawaan politik negara pagoda emas itu. Aung San yang merupakan bapa kepada Aung San Suu Kyi, ditembak mati oleh sekumpulan askar bersama-sama lapan orang menteri kabinet ketika mengadakan mesyuarat pertama selepas parti politik Anti-Fascist People\u2019s Fredom League (AFPFL) yang ditubuhkannya menang dengan 176 daripada 210 kerusi pada Pilihan Raya \u00a0Umum Myanmar 1947.\nKekecohan dan ketidakpuasan hati pemimpin politik terhadap peristiwa itu diredakan melalui pengumuman tentera tentang hasil siasatan mengenai peristiwa berdarah berkenaan. Galon U Saw, seorang pemimpin Burma sebelum kemerdekaan didakwa melakukan komplot pembunuhan tersebut. Selepas dibicarakan, U Saw tidak mengakui perbuatannya itu. Walau bagaimanapun, mahkamah mendapati beliau bersalah dan dihukum.\nKemudian, episod rampasan kuasa Junta bermula pada 2 Mac 1962. Ne Win yang diangkat menjadi Pengerusi Majlis Revolusi Kesatuan memulakan plot rampasan kuasa dengan membubarkan parlimen. Kudeta ini dikatakan sebagai rampasan kuasa aman kerana tidak ada pertumpahan darah direkodkan. Pengerusi Majlis Revolusi ini kemudiannya mengambil alih negara dan menjadi rejim pemerintah baharu selepas menggantung perlembagaan negara serta membubarkan badan perundangan.\nPeristiwa itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan golongan cendekiawan dan pelajar. Tunjuk perasaan dan demonstrasi pelajar Universiti Rangoon dipandang sepi oleh Junta. Begitu pun, hasil intipan polis rahsia telah mengenal pasti rancangan gerakan bawah tanah yang dikenali sebagai tentera Teh Susu yang \u00a0melakukan rusuhan di seluruh negara.\nNe Win kemudiannya mengeluarkan arahan supaya askar menggempur Universiti Ranggon. Peristiwa Julai 1962 itu menyebabkan pertempuran berlaku antara pelajar dengan askar Junta. Askar telah melepaskan tembakan terhadap pelajar yang berhimpun, kemudian memusnahkan bangunan kesatuan pelajar. Kecaman dunia terhadap tindakan Ne Win itu menyebabkannya cuba mengelakkan diri dengan ke luar negara atas tujuan membuat pemeriksaan kesihatan. Sekembalinya daripada lawatan luar negara, jeneral kuku besi ini menubuhkan Parti Sosialis Burma (BSPP). Dia kemudiannya mengisytiharkan BSPP sebagai parti tunggal. Berikutan itu, Majlis Revolusi Kesatuan dibubarkan dan Republik Sosialis Myanmar diperkenalkan. Alasan junta, demokrasi berparlimen tidak sesuai diamalkan dan model negara kebajikan sosialis diperlihatkan kepada rakyat.\nSelama 26 tahun memerintah (1962-1988), rakyat menanggung kesengsaraan yang tidak tertanggung. Pentadbiran negara yang ekstrem dan berasaskan nasionalisme melampau serta pengurusan ekonomi secara autarki, iaitu pengasingan ekonomi dari dunia luar menjadikan negara seribu pagoda ini mundur. Kerajaan pusat yang memerintah hampir muflis dengan rizab nilai simpanan wang negara berada pada jumlah 20 hingga 35 juta sahaja sekitar tahun 80-an. Inflasi menekan rakyat. Petani dipaksa menjual hasil tanaman dengan harga yang murah. Separuh daripada peruntukan belanjawan negara, dikhususkan untuk perkhidmatan Junta dan memperkukuhkan ketenteraan.\nPlot penentangan rakyat tetap berterusan. Sejak tahun 1962 hingga pertengahan 1980-an, pemimpin politik ditindas dan diketepikan hak bagi mengawal penentangan. Pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjadi saksi pencerobohan hak asasi manusia. Badan dunia itu cuba menasihati Junta supaya fokus kepada pembangunan ekonomi serantau daripada terus menekan hasrat rakyat. Malangnya, sikap keras kepala Junta menyebabkan bumi emas ini menjadi negara paling mundur seperti yang tercatat dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh PBB pada tahun 1988. Pernyataan itu menyinggung hati Ne Win dan menyebabkan beliau meletakkan jawatan. Tidak berapa lama selepas itu, gerakan penentangan besar-besaran tercetus dengan menyaksikan pertempuran orang awam dengan Tatmadaw (nama rasmi angkatan tentera Myanmar). Tentera menembak dan mencederakan penunjuk perasaan. Kesannya, sebanyak 3000 orang terkorban. Malah ramai lagi yang hilang dan tidak dapat dikesan kerana tidak rekod.\nEkoran peristiwa hitam itu, revolusi 8-8-88 (rusuhan anti tentera pada 8 Ogos 1988) memulakan langkah dengan menonjolkan pimpinan Aung San Suu Kyi \u00a0untuk mendapatkan semula hak rakyat dengan menubuhkan kerajaan demokrasi berparlimen. Perjuangan ini dipandang penting oleh Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) terutamanya kerajaan Malaysia.\nWalaupun pertubuhan ini meletakkan pendirian tidak masuk campur urusan dalaman sesebuah negara anggota, namun usaha damai melalui jalan perbincangan dan diplomasi diatur antara semua pihak yang terlibat bagi menjamin kesejagatan dan kesejahteraan di rantau ini. Pada akhirnya, resolusi rakyat berjaya membawa fasa ketiga perlembagaan yang berteraskan politik pelbagai parti dengan bertunjangkan demokrasi. Hal ini ditegakkan melalui Arahan Pemansuhan Perlembagaan 1974 dengan menubuhkan Majlis Pemulihan Undang-undang dan Ketertiban Negara (SLORC) oleh Jeneral Saw Muang. Usaha pemulihan konstitusi negara berdemokrasi semakin berhasil. Namun begitu, Junta meletakkan asas tidak logik pada perlembagaan baharu dengan menetapkan 20 peratus kerusi perwakilan rakyat di parlimen harus diberikan kepada Tatmadaw. Ternyata tiada cahaya kecil di hujung terowong yang diharapkan oleh rakyat.\nPenubuhan Parti Liga Kebangsaan Demokratik (National League Democratic) (NLD) yang dipimpin oleh Aung San Suu Kyi akhirnya berjaya membentuk kerajaan awam pertama selepas puluhan tahun berjuang menentang undang-undang drakonian Junta.\nDi balik kemenangan ini, tersimpan duri yang bakal menusuk daging. sejarah berulang kembali. Detik rampasan kuasa Junta dimulakan kembali. Pada kali ini, alasan sama diberikan, iaitu mencari keadilan bagi memulihkan kedaulatan negara selepas dikatakan pilihan raya umum pada \u00a0November 2020, dicemari dengan penipuan dan tidak sah. Sepantas kilat, Junta Min Aung Hlaing bertindak menubuhkan Majlis Pentadbiran Negara dengan 11 orang anggota bagi mengisytiharkan darurat selama setahun.\nTanggal 1 Februari 2021, akhbar antarabangsa melaporkan Junta Tatmadaw melumpuhkan semua sistem komunikasi di negara berkenaan dan menahan 400 orang ahli parlimen, iaitu beberapa jam sebelum parlimen bersidang. Berita itu mengejutkan pemimpin ASEAN. Bimbang akan krisis yang lebih buruk berlaku, Setiausaha Agung ASEAN menjemput sidang khas diadakan secara maya bagi membincangkan pergolakan berkenaan.\nPemerhati hak asasi manusia PBB di Myanmar, Nada al-Nashif, juga mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan Junta itu tidak sah dan melanggar hak asasi manusia kerana menidakkan hak rakyat untuk menubuhkan kerajaan awam yang demokratik.\nSementara itu, ASEAN menggunakan saluran diplomasinya bagi memujuk junta untuk akur dengan tekanan antarabangsa. Junta disarankan supaya mengutamakan aspirasi dan kehendak rakyat yang memilih negara demokrasi berparlimen.\nJika tindakan Junta Min dibiarkan berlarutan, hal ini bakal meruntuhkan hubungan perdagangan penting tiga blok, iaitu ASEAN bersama-sama Eropah, Amerika dan China. Pendirian ASEAN yang lebih liberal dijangka bakal membuka jalan penyelesaian apabila Pengerusi ASEAN mengemukakan tiga cadangan untuk meleraikan kebuntuan krisis ini. Cadangan pertama adalah dengan jemputan Myanmar, ASEAN menubuhkan sekumpulan pakar dalam pilihan raya untuk membantu negara itu merapatkan jurang yang wujud dalam pilihan raya lalu. Kedua, Myanmar dapat mempertimbangkan cadangan agar Setiausaha Agung dan Pengerusi ASEAN dapat mengunjungi negara itu dan diberikan akses kepada semua pihak yang terlibat bagi tujuan perbincangan dan semua menteri luar ASEAN dapat mengetahui penglibatan mereka secepat mungkin. Ketiga adalah dengan penubuhan Troika ASEAN mengenai Myanmar bersama-sama rakan antarabangsa secara kolektif. Semua cadangan Troika akan dikongsi dengan Myanmar.\nAntara sedar dengan tidak, sejarah lama perlu ditutup dan tidak diulang lagi. Begitulah pendirian Malaysia yang menyokong penuh usaha dan aspirasi rakyat yang mahukan kerajaan demokrasi berparlimen yang telus dan memajukan negara tanpa undang-undang Drakonian. Meskipun hasrat ini menjadi dasar dan lidah utama pemimpin ASEAN lain, namun sejauh manakah institusi Tatmadaw berani berubah dan pemimpin tertinggi Tatmadaw mengubah pendirian institusi tentera daripada setia, taat dan patuh hanya pada junta, kepada kesetiaan kepada rakyat dan negara.\nKeadaan Tatmadaw yang begitu menjadikan rukun negara ini tidak seimbang dan pincang kerana institusi ini sepatutnya menjadi pelindung yang mengutamakan keselamatan rakyat dan negara. Namun begitu telah terheret sebagai entiti ancaman kepada rakyat dan negara. Sejauh manakah rakyat Myanmar berani untuk terus melakukan reformasi, hanya masa yang menentukan angin perubahan itu akan berlaku atau sebaliknya." "Bidang Kuasa Mahkamah Syariah Dicabar, Apakah Penyelesaiannya?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada\u00a0 Ogos 2019 lalu, seorang lelaki Muslim berusia 35 tahun\u00a0 dihadapkan pertuduhan di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor atas kesalahan cuba melakukan seks luar tabii dengan pasangannya (seorang lelaki lain) pada November 2018 di sebuah rumah, di Bandar Baru Bangi, Selangor.\u00a0 Tertuduh mengaku tidak bersalah. Pertuduhan ini dibuat di bawah seksyen 28 Enakmen\u00a0 Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang menyatakan seperti yang berikut \u2013\n\u201cMana-mana orang yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang adalah melakukan suatu kesalahan, dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu\u201d.\nInti pati jenayah ini ialah satu persetubuhan luar tabii, sama ada dengan seorang lelaki, perempuan atau haiwan, manakala hukuman yang boleh dijatuhkan ke atas tertuduh sekiranya sabit kesalahannya, merupakan hukuman maksimum yang dibenarkan di bawah undang-undang \u2013 iaitu berasaskan formula 3:5:6 (penjara tiga tahun, denda lima ribu ringgit dan enam sebatan).\nHukuman maksimum ini menunjukkan betapa \u201ckerdilnya\u201d status mahkamah syariah negeri jika dibandingkan dengan bidang kuasa mahkamah sivil di negara ini. Hukuman maksimum ini ditentukan oleh Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1984, yang merupakan pembaharuan kepada undang-undang lama sebelumnya, iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355). Kedudukan Mahkamah Syariah negeri di bawah Akta 355 itu lebih teruk lagi kerana hukuman maksimum yang boleh dikenakan hanyalah penjara enam bulan atau denda RM1000 atau kedua-duanya sekali.\nKembali kepada kes jenayah takzir di Selangor itu, tertuduh kemudiannya telah merujuk kesnya (pada 28 November 2019) kepada Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kuasa perundangan kerajaan Selangor. Tertuduh memohon mahkamah mengisytiharkan seksyen 28 itu sebagai tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.\nSetelah satu tahun berlalu, pada 14 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan menyatakan persetujuannya dengan mendengar hujah daripada semua pihak sebelum membuat keputusan. Setelah mendengar hujah tersebut, pada 25 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengisytiharkan seksyen 28 itu tidak sah kerana badan perundangan Negeri Selangor tidak ada kuasa membuat undang-undang mengenai perkara yang disebutkan dalam Senarai Persekutuan (Senarai 1) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.\nMengikut Mahkamah Persekutuan, kesalahan yang disebutkan dalam seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor itu wujud dalam Undang-undang Persekutuan, iaitu seksyen 377 dan 377A Kanun Keseksaan. Seksyen 377 ialah kesalahan \u201cbuggery with an animal\u201d (persetubuhan luar tabii dengan binatang), manakala seksyen 377A ialah kesalahan \u201ccarnal intercourse against the order of nature\u201d (persetubuhan luar tabii dengan manusia). \u00a0Hukuman di bawah Kanun Keseksaan itu adalah jauh lebih berat (bersifat penyeksaan) daripada hukuman yang disebutkan dalam seksyen 28 (yang hanya bersifat mengajar dan menginsafkan, bukan menyeksakan).\nPeguam yang mewakili kerajaan \u00a0Selangor telah berhujah bahawa seksyen 28 itu adalah sah kerana Senarai 2 Jadual Kesembilan menyatakan bahawa badan perundangan negeri boleh membuat undang-undang mengenai kesalahan terhadap \u201cthe precepts of Islam\u201d. Oleh itu, mengikut hujah itu lagi, kedua-dua kesalahan ini (jenayah takzir di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor dan jenayah persetubuhan luar tabii di bawah Kanun Keseksaan) boleh wujud bersama-sama (\u201cco-exist\u201d).\nPada hemat saya, hujah peguam bagi kerajaan Selangor ini ada merit, tetapi malangnya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan yang menyatakan bahawa kuasa perundangan Selangor itu terbatas (dihadkan) oleh ayat yang berbunyi\u00a0 \u201cexcept in regard to matters included in the Federal List\u201d (kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan).\nTegas Mahkamah Persekutuan lagi, akibat ayat \u201cpreclusion clause\u201d (fasal pengecualian) itu, badan perundangan negeri tidak dibenarkan mewujudkan apa-apa undang-undang mengenai perkara yang ada dalam Senarai Persekutuan.\u00a0 \u201cCriminal law and procedure\u201d merupakan Item empat dalam Senarai satu (Senarai Persekutuan).\nPeguam pihak kerajaan Selangor juga berhujah bahawa seksyen 28 dalam Enakmen di Selangor itu berbeza daripada seksyen 377 dan 377A dalam Kanun Keseksaan. Hujah ini juga ditolak sebagai tidak relevan. Mahkamah Persekutuan menegaskan bahawa apa-apa yang penting bahawa jenayah yang disebutkan dalam seksyen 28 itu (disebutkan) dalam Senarai Persekutuan.\u00a0 Mahkamah Persekutuan menegaskan bahawa sekalipun kesalahan dalam seksyen 28 itu merupakan satu kesalahan terhadap \u201cprecepts of Islam\u201d, hal itu tetap tidak boleh \u201cwujud bersama\u201d dengan kesalahan yang disebutkan di bawah Undang-undang Persekutuan.\nApakah keputusan Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari lalu \u00a0merupakan satu penafian kepada kuasa perundangan kerajaan \u00a0Selangor, sekali gus memberikan tempias negatif kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah negeri? Banyak dalam kalangan pengamal undang-undang syariah di negara ini yang berasa begitu.\nMengikut Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, keputusan Mahkamah Persekutuan itu membuka ruang kepada sesiapa sahaja untuk \u00a0mencabar peruntukan jenayah syariah yang lain pada masa akan datang. Meluahkan rasa dukacitanya, Zainul menambah bahawa keputusan itu akan menjejaskan kedudukan undang-undang syariah berkaitan kes liwat di negeri lain disebabkan peruntukan yang sama wujud juga di negeri lain. \u201cWalaupun Mahkamah Persekutuan hanya menyatakan seksyen 28 sahaja yang tidak sah, hal itu akan membuka ruang kepada sesiapa sahaja pada masa depan untuk mencabar peruntukan yang lain,\u201d ujar Zainul\nMengulas keputusan ini, dalam kolumnya di sebuah akhbar harian, Zainul menyatakan bahawa pada waktu ini penghakiman itu memadamkan kuasa Dewan Undangan Negeri menggubal kesalahan liwat kerana diputuskan berada \u00a0dalam kuasa Parlimen. Siapa tahu pada satu hari nanti, akan juga dicabar kesalahan jenayah syariah yang lain seperti berjudi, minum arak, berpakaian tidak sopan, sumbang mahram dan banyak lagi?\nPada akhirnya, Dewan Undangan Negeri akan hanya mampu menggubal undang-undang kesalahan melanggar perintah agama Islam, manakala mahkamah syariah pula akan hanya mengadili kes kekeluargaan sahaja. Apa-apa yang disebutkan Zainul itu tidak mustahil boleh berlaku.\nJika kita baca kandungan Enakmen Jenayah Syariah Selangor dengan teliti, kita akan dapati bahawa kandungannya mengandungi empat jenis kesalahan \u2013 iaitu kesalahan berhubung aqidah (kategori pertama), kesalahan berhubung kesucian agama Islam dan institusinya (kategori kedua), kesalahan berhubung kesusilaan (kategori ketiga), dan kesalahan lain yang dikategorikan sebagai \u201ckesalahan pelbagai\u201d (kategori keempat). Kesalahan jenayah takzir persetubuhan luar tabii (di bawah seksyen 28) terletak dalam kategori ketiga.\nKesalahan yang disebutkan dalam kategori pertama adalah seperti pemujaan salah, takfir dan menyebarkan doktrin palsu. \u00a0\u00a0Kesalahan yang disebutkan dalam kategori kedua adalah seperti mempersendakan ayat al-Quran dan hadis, menghina atau menyebabkan dipandang hina Agama Islam, mencemarkan tempat ibadat, menghina pihak berkuasa agama, mengeluarkan pendapat yang bertentangan dengan fatwa, mengingkari perintah mahkamah, berjudi, minum bahan yang memabukkan, tidak menghormati Ramadan, tidak solat Jumaat, tidak membayar zakat atau fitrah.\nKesalahan yang disebutkan dalam kategori ketiga adalah seperti melakukan sumbang mahram, pelacuran, muncikari, persetubuhan luar nikah, hubungan jenis antara orang yang sama jantina, persetubuhan luar tabii, khalwat, lelaki berlagak seperti perempuan dan perbuatan tidak sopan di tempat awam. Kesalahan yang disebutkan dalam kategori keempat termasuklah memujuk lari perempuan bersuami, qazaf, dan penyalahgunaan tanda halal.\nSeksyen 28 dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor itu telah wujud sebagai satu kesalahan takzir (\u062a\u0639\u0632\u064a\u0631\u200e) selama 25 tahun\u00a0 dan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari lalu merupakan pertama kali diisytiharkan tidak sah dan terbatal \u2013 bukan kerana hal itu menyalahi hukum syarak, menyalahi al-Quran, hadis atau mana-mana fatwa, tetapi hanya kerana hal itu bertentangan dengan Perlembagaan\u00a0 Persekutuan.\nSeksyen 28 Enakmen Jenayah Selangor tidak ada ruang dalam landskap perundangan negara kerana Mahkamah Persekutuan enggan membenarkan hal itu \u201cwujud bersama\u201d dengan undang-undang persekutuan di bawah satu bumbung yang sama (Perlembagaan Persekutuan) disebabkan fasal pengecualian (exclusion clause) dalam Perlembagaan Persekutuan tidak mengizinkannya.\nSaya sempat berbual mengenai isu ini sedikit masa lalu dengan seorang Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah di sebuah negeri. Saya berbisik kepadanya untuk segera\u00a0 menghubungi rakan sekerjanya di Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri agar mereka boleh bergabung tenaga menyemak dan menilai semula semua peruntukan perundangan syariah negeri bagi tujuan mengelakkan lebih banyak lagi peruntukan lain dicabar oleh pihak tertentu pada masa hadapan.\nPada 27 Februari lalu, media melaporkan bahawa Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diarahkan berbincang dan melakukan penambahbaikan undang-undang syariah di negara ini, khususnya mengenai kesalahan jenayah takzir syariah.\nMengikut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Jawatankuasa tersebut akan berunding dengan semua pihak berkuasa negeri dan pihak yang berkepentingan dalam usaha memperkasakan dan menyeragamkan undang-undang syariah di negara ini.\nSoalnya kini, sementara semua perkara ini dirancang akan dilakukan, apakah Pendakwa Syarie Selangor telah menyerahkan fail kes jenayah ini kepada Pendakwa Raya supaya pada suatu hari nanti tertuduh dalam kes ini boleh diheret ke Mahkamah Tinggi sivil dan dituduh di bawah Kanun Keseksaan? Sekiranya tertuduh boleh lepas begitu sahaja disebabkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari lalu, maka tragedi berulang dan berlaku sekali lagi.\n\u00a0\nProfesor Datuk Salleh Buang ialah mantan Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara." "DIDIK TV Meningkatkan Akses Pendidikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nInisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan, iaitu DidikTV \u00a0merupakan antara usaha terbaik kerajaan dalam meningkatkan akses\u00a0 dan membantu pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).\nDidikTV KPM\u00a0 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pada 17 Februari lalu antara lain adalah bermatlamat untuk mewujudkan saluran \u00a0yang khusus dan berkualiti untuk semua murid dan pelajar di seluruh negara. Pengisian kandungan DidikTV KPM yang padat dan bersiaran pada setiap hari untuk tempoh 12 jam, iaitu bermula pada pukul 7.00 pagi hingga 12.00 tengah malam dapat memberikan manfaat yang amat besar kepada peningkatan pembelajaran murid dan pelajar di seluruh negara.\nUmum mengetahui bahawa sesi persekolahan pada tahun 2020 dan pada awal tahun 2021 terjejas akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh negara. Oleh itu, untuk mengekang penularan wabak ini, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermatlamat untuk memutuskan rantaian COVID-19. Maka, mahu tidak mahu sesi persekolahan di seluruh negara terpaksa ditangguhkan dan takwim persekolahan diubah semula setelah mengambil kira situasi terkini kes jangkitan COVID-19 di seluruh negara.\nOleh itu, KPM menjadikan DidikTV KPM sebagai alternatif terbaik untuk memastikan \u00a0PdPR boleh ditonton menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di ASTRO dan saluran ntv7 di TV UNIFI. Bagi set TV Digital Bersepadu (iDTV) yang menggunakan antena, carian saluran DidikTV KPM boleh dilakukan menerusi penalaan automatik.\nDidikTV KPM turut dilihat sebagai usaha merealisasikan agenda Revolusi Industri 4.0 dengan menjadikan teknologi sebagai pemboleh ubah yang strategik untuk memacu produktiviti negara serta memperkasa warga pendidik untuk lebih berkemahiran dan pakar dalam menyampaikan kandungan pembelajaran secara kreatif berteraskan kurikulum serta kokurikulum KPM.\nUsaha KPM mewujudkan DidikTV KPM merupakan antara langkah terbaik bagi memastikan murid dan pelajar\u00a0 yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, sama ada di kawasan bandar, luar bandar mahupun kawasan pedalaman dapat memanfaatkan PdPR.\nPengenalan saluran DidikTV KPM memberikan peluang yang luas kepada murid dan pelajar khususnya dari keluarga isi rumah pendapatan terendah (B40) untuk mengikuti pelajaran yang lebih selesa dan yang lebih penting memudahkan pemahaman murid dan pelajar terhadap subjek yang diajar. Hal ini \u00a0lebih-lebih lagi apabila banyak pihak melihat sistem pengajaran\u00a0 DidikTV KPM \u00a0sebagai pendekatan yang paling hampir dengan pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah secara bersemuka. Hal ini dikatakan demikian kerana, penampilan guru di kaca TV yang\u00a0 berpakaian kemas (seperti ketika hadir ke sekolah) sedikit banyak dapat mengembalikan suasana pembelajaran secara bersemuka.\nMeskipun sesi persekolahan tahun 2021 telah bermula pada 1 Mac yang lalu, namun banyak pihak melihat bahawa DidikTV KPM perlu diteruskan. Hal ini kerana banyak pihak yakin bahawa DidikTV KPM akan dapat berperanan sebagai PdPR yang mampu menyokong dan pemacu kecemerlangan pembelajaran secara bersemuka. \u00a0\u00a0\u00a0Menurut rekod, data menunjukkan bahawa sebanyak 95 peratus isi rumah di luar bandar mempunyai televisyen di rumah. Maka, DidikTV KPM mempunyai capaian yang lebih meluas untuk PdPR berbanding dengan PdPR yang memerlukan capaian internet sehingga sering menimbulkan polemik apabila terdapat pelajar di luar yang terpaksa masuk\u00a0 ke dalam hutan untuk mendapatkan capaian internet. selain itu, isi kandungan yang disiarkan dalam DidikTV KPM bukan sahaja mampu menarik minat murid dan pelajar, tetapi DidikTV KPM juga diyakini dapat memperkasakan ilmu yang merangkumi kehidupan, didik hibur, program antarabangsa, dan mengasah kemahiran\u00a0 penyampaian dalam kalangan murid dan pelajar.\nSuasana pembelajaran melalui DidikTV KPM tidak akan menjejaskan\u00a0 tahap pencapaian dan\u00a0 pengetahuan pelajar dan murid jika guru dan ibu bapa turut berperanan penting dalam memberikan perhatian terhadap usaha untuk menjayakan matlamat DidikTV KPM. Tidak dinafikan bahawa murid dan pelajar pada hari ini telah terdedah\u00a0 dengan pembelajaran secara dalam talian yang merupakan kebiasaan baharu yang telah diadaptasi daripada \u201cpersekolahan pascapanemik COVID-19\u201d. Oleh itu, bukanlah menjadi masalah besar jika DidikTV KPM turut menjadi sebahagian daripada kebiasaan baharu yang diteruskan sehingga pandemik COVID-19 benar-benar berakhir atau DidikTV KPM boleh sahaja dijadikan sebagai platform untuk persediaan pembelajaran secara digital seperti yang disuarakan oleh Perdana Menteri dalam ucapan Setahun Malaysia Prihatin pada 1 Mac lalu.\nOleh itu, guru dan ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dalam membantu\u00a0 menjadikan\u00a0 pembelajaran DidikTV KPM dapat benar-benar menarik minat murid dan pelajar khususnya di luar bandar. Proses PdPR menerusi DidikTV KPM pastinya akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan berbanding dengan pembelajaran secara dalam talian yang sering terganggu disebabkan liputan internet yang lemah.\nTidak dapat dinafikan DidikTV KPM memerlukan daya kreativiti dan inovasi guru sejajar dengan perkembangan dunia pendidikan pada hari ini. Hal ini dikatakan demikian kerana guru yang berpengalaman dalam bidang masing-masing pastinya akan mampu menarik perhatian murid dan pelajar dengan kaedah baharu yang lebih mudah difahami. \u00a0Oleh itu, bagi memastikan keberkesanan DidikTV KPM, peranan dan sokongan semua pihak termasuk ibu bapa amat penting agar generasi muda mendapat manfaat daripada pendekatan baharu yang dilaksanakan oleh kerajaan." "Dinamika Kepimpinan Wanita dalam Pembangunan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKebangkitan wanita dalam bidang politik banyak dipengaruhi oleh gerakan feminisme di Eropah pada Zaman Pencerahan, Revolusi Perancis dan Revolusi Amerika yang dipelopori oleh Lady Mary Wortley dan Marquis de Condorcet.\nPada asasnya, gerakan politik militan wanita bermula di Britain pada tahun 1903 dengan pembentukan Women\u2019s Social and Political Union (WSPU) yang diketuai oleh Emmeline Pankhurst. Antara pelopor gerakan wanita yang tersohor di Eropah ialah Susan B. Anthony, Sojourner Truth dan Emily Davidson.\nGelombang yang dibawa oleh gerakan feminisme ini turut melanda beberapa buah negara lain seperti Ireland, Sepanyol dan Switzerland. Gerakan ini membawa pemikiran baharu bahawa wanita perlu bergerak seiring dengan kedudukan dan status lelaki dalam politik, sosial dan ekonomi. Kesannya, desakan gerakan feminisme ini berjaya membuka lembaran baharu kepada wanita dan merubah dominasi budaya patriakal di serata dunia. Pada tahun 1918 umpamanya, Great Britain memberikan hak mengundi kepada wanita berusia 30 tahun ke atas dan kemudiannya diturunkan kepada 21 tahun ke atas pada tahun 1928. Begitu juga dengan negara lain seperti New Zealand yang memberikan hak mengundi kepada wanita pada tahun 1893, Soviet Union (1917), Australia (1902), Finland (1906) dan Norway (1913).\nNamun begitu, berbeza daripada konteks perjuangan wanita di negara dunia ketiga termasuk Malaysia, gerakan politik wanita Malaysia telah bermula seawal tahun 1940-an lagi melalui pergerakan Kaum Ibu. Wanita Malaysia berjuang dengan meniup semangat nasionalisme dalam kalangan kaum ibu untuk bersama-sama menentang arus kolonialisme penjajah. Selain itu, pergerakan feminisme di Malaysia juga berjuang menuntut kesamarataan antara lelaki dengan wanita dalam partisipasi politik dan sebagai pembuat keputusan di sektor awam dan swasta. Maka, lahirlah beberapa kumpulan pergerakan wanita dalam bidang politik seperti Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang diasaskan oleh tokoh wanita bersemangat antipenjajah seperti Tan Sri Aishah Ghani, Datin Sakinah Junid dan Shamsiah Pakeh. Selain politik, wanita juga menubuhkan pergerakan sukarelawan di bawah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Young Women Association (1907), Women Teachers Union (1929) dan Women Institute (1952).\nKesinambungan perjuangan wanita pascamerdeka giat ditunjangi Majlis Kebangsaan Wanita Malaysia (NCWO) yang begitu berperanan dalam memartabatkan kaum wanita di samping memperjuangkan hak mereka. Sejak diasaskan pada tahun 1963 oleh Tan Sri Kamsiah Ibrahim, NCWO diterajui oleh tokoh wanita hebat seperti Tun Fatimah Hashim, Datuk F.R. Bhupalan, Puan Sri Janaki Athi Nahappan dan Puan Sri Fatimah Hamid Don. Hingga kini, terdapat sebanyak 125 NGO bernaung di bawah NCWO yang memperjuangkan pelbagai isu mengenai wanita terutamanya dalam konteks sosial, politik, ekonomi, budaya dan intelektual.\nSejak merdeka, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan untuk menyerlahkan potensi diri wanita dalam memacu pembangunan negara. Namun begitu, Indeks Jurang Gender Malaysia yang mengukur perbezaan pencapaian antara wanita dengan lelaki dalam empat bidang utama, iaitu kesihatan, pendidikan, ekonomi dan politik masih tidak mencapai tahap memuaskan dalam beberapa sektor. Malaysia berjaya merapatkan jurang antara wanita dengan lelaki dalam subindeks kesihatan (0.95) dan pendidikan (1.0). Pencapaian ini dinyatakan dengan jelas dalam Global Gender Gap Report 2020 yang memperlihatkan enrolmen pelajar wanita di peringkat pendidikan tertiari berada pada tahap 49.9 peratus, iaitu satu pencapaian yang lebih baik berbanding dengan lelaki (40.7 peratus).\nNamun demikian, usaha masih perlu dipertingkatkan untuk merapatkan jurang antara wanita dengan lelaki dalam subindeks ekonomi (0.71) dan politik (0.10). Jurang gender yang ketara dalam subindeks ekonomi dipengaruhi oleh Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) wanita pada suku keempat tahun 2019 (56.1 peratus), iaitu lebih rendah berbanding dengan lelaki (81.1 peratus). Kedudukan skor yang rendah dalam subindeks politik memberi maksud representasi wanita dalam bidang politik masih belum menampakkan kekuatannya. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa Global Gender Gap Index 2020 (GGGI) meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-104 daripada 153 buah negara yang ditinjau.\nRealitinya, penguasaan politik wanita masih terlalu jauh untuk mencapai tahap 30 peratus seperti yang dipersetujui oleh negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan konvensyen antarabangsa seperti Beijing Declaration and Platform for Action dan Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women (CEDAW). Hingga Januari 2021, representasi wanita dalam bidang politik hanyalah pada tahap 14.9 peratus berbanding dengan lelaki (85.1 peratus). Malahan dalam kelompok negara-negara ASEAN, Malaysia berada pada tangga kesembilan (0.677) daripada 10 buah negara dengan Myanmar (0.655) berada pada tangga terakhir. Urutan skor bagi negara-negara ASEAN yang lain menurut GGGI 2020 ialah Filipina (0.781), Laos PDR (0.731), Singapura (0.724), Thailand (0.708), Indonesia (0.700), Vietnam (0.700), Kemboja (0.694) dan Brunei (0.686).\nSecara tidak langsung, laporan oleh GGGI ini memberikan maklumat bahawa kerajaan perlu mempertingkat usaha untuk memperkasakan potensi diri wanita khususnya dalam aspek ekonomi dan politik. Dasar seperti Dasar Mesra Keluarga, 30 Peratus Wanita Sebagai Pembuat Keputusan, dan penyediaan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja perlu mempunyai mekanisme kawalan yang lebih berkesan untuk memastikan pelaksanaan dasar ini mencapai objektifnya. Dasar yang diperkenalkan hendaklah diterjemahkan menjadi realiti terutamanya dasar 30 Peratus keterlibatan wanita sebagai pembuat keputusan, dengan memberikan perhatian khusus terhadap sektor ekonomi dan politik.\nUsaha untuk memperkasakan wanita telah dimaktubkan sebagai sebahagian daripada agenda utama kerajaan sejak pelancaran Pelan Kebangsaan Malaysia pada awal tahun 1980-an lagi. Komitmen kerajaan terhadap pembangunan wanita di negara ini terus diperkasakan melalui pelan pembangunan yang ditambah baik secara lebih tersasar.\nPada tahun 2004, kerajaan mengumumkan perlaksanaan dasar 30 peratus keterlibatan wanita memegang jawatan kepimpinan utama dan sebagai pembuat keputusan di sektor awam. Pelaksanaan polisi ini menyaksikan penglibatan wanita pada peringkat kepimpinan dan pembuat dasar di sektor awam meningkat kepada 37.6 peratus pada Mei 2019 berbanding dengan 18.8 peratus pada tahun 2004. Keberkesanan wanita menerajui kepimpinan utama negara membuka mata kerajaan untuk memperluas dasar 30 peratus keterlibatan wanita sebagai pembuat keputusan ke sektor korporat. Ibarat bulan jatuh ke riba, pelancaran polisi ini memberikan impak yang sangat signifikan terhadap keberadaan wanita dalam sektor korporat. Kesannya, penglibatan wanita sebagai ahli lembaga pengarah di 100 buah syarikat berkaitan dengan kerajaan yang tersenarai di Bursa Malaysia meningkat kepada 26.4 peratus pada tahun 2019 berbanding dengan 19.2 peratus pada tahun 2017. Dalam pada itu, Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) 2016 \u2012 2020 membuka ruang kepada wanita untuk lebih aktif dalam pasaran buruh apabila KPTB wanita dinaikkan kepada 56.5 peratus pada tahun 2020 berbanding dengan 54.3 peratus (2016).\nKemampuan wanita sebagai pembuat keputusan terbukti apabila semakin banyak wanita menggalas tugas utama kepimpinan negara. Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz ialah satu nama besar dalam bidang ekonomi dan tokoh yang menjadi inspirasi bukan sahaja kepada wanita malahan juga lelaki. Sementara itu, pelantikan Tan Sri Profesor Dr. Mazlan Othman sebagai Pengarah Hal Ehwal Angkasa Lepas PBB di Vienna, Austria, dari Oktober 1999 hingga Jun 2001 juga membuka mata dunia akan kemampuan wanita Malaysia dalam bidang sains. Nyata sekali, pelantikan ini bukan sahaja memberikan pengiktirafan kepada wanita, malahan juga kepada Malaysia khususnya.\nNamun begitu, di balik pelbagai pengiktirafan terhadap kepimpinan dan ketokohan wanita di negara ini, masih banyak wanita yang ditindas dan dinafikan hak mereka. Buktinya, kes penderaan, penipuan, penindasan dan jenayah seks terhadap wanita masih lagi menjadi topik utama media arus perdana. Diskriminasi gender dalam bidang pekerjaan masih ketara dan menjadi isu yang perlu terus diperjuangkan. Hal ini jelas apabila Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM) mendapati, kadar upah yang diterima oleh wanita adalah lebih rendah, iaitu sebanyak RM93.20 bagi setiap RM100.00 yang diperoleh lelaki. Senario ini wajar ditangani dengan berkesan kerana wanita mengisi sebahagian daripada jumlah keseluruhan populasi Malaysia dan dunia.\nDi samping itu, statistik JPM juga memperlihatkan Kadar Luar Tenaga Buruh Wanita (4882.5) pada suku tahun pertama tahun 2020 adalah lebih tinggi berbanding dengan lelaki (2280.7). Istilah Luar Tenaga Buruh merujuk bilangan penduduk yang tidak dikelaskan sebagai bekerja atau menganggur, iaitu suri rumah, pelajar (termasuk mereka yang akan melanjutkan pelajaran), mereka yang telah bersara atau tidak berkeupayaan dan mereka yang tidak berminat untuk mencari pekerjaan. Persoalannya, mengapakah banyak wanita memilih untuk menjadi suri rumah atau tidak bekerja? Mungkinkah wanita sudah bosan dengan diskriminasi di tempat kerja yang lebih berpihak kepada lelaki sedangkan komitmen yang diberikan adalah lebih tinggi?\nPun begitu, sumbangan wanita sebagai pemain industri dalam pelbagai bidang sememangnya memberikan impak yang besar terhadap pembangunan negara. Bermula dari pascakemerdekaan hingga era Wawasan 2020, nama wanita Malaysia semakin menyerlah di persada antarabangsa. Dr. Farah Shaheera Roslan umpamanya, telah dianugerahkan NHS Leadership Academy Award dan dicalonkan untuk British Muslim Award atas kebolehannya mencipta hijab pakai buang bagi membolehkan para petugas wanita Muslim memasuki dewan bedah.\nDalam bidang sukan pula, nama Datuk Nicol Ann David sememangnya terlalu unggul di mata dunia. Beliau ialah wanita Asia pertama yang menduduki tangga pertama dunia dalam sukan skuasy. Beliau ialah satu-satunya rakyat Malaysia dan Asia yang meraih Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman oleh Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa dengan menewaskan 23 calon lain pada Februari 2021.\nDi samping itu, Dr. Amalina Che Bakri juga ialah antara figura yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Kegigihan beliau mengatur rawatan untuk membantu bayi berusia 10 bulan, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, \u00a0yang menghidap Germ Cell Tumour untuk mendapatkan rawatan di London sememangnya membanggakan seluruh rakyat Malaysia. Amalina turut tersenarai sebagai antara 10 doktor pakar pelatih pembedahan terbaik United Kingdom dan kini berkhidmat sebagai pendaftar pembedahan umum di Penjagaan Kesihatan Kolej Imperial London. Figura seperti yang dinyatakan di atas ialah barisan generasi muda yang meneruskan kewibawaan tokoh wanita yang terlebih dahulu bersinar di persada antarabangsa seperti Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, Tan Sri Michelle Yeoh, Dato\u2019 Lim Phaik Gan dan Datin Paduka A. Mangalam.\nSetelah negara mencapai kemerdekaan, wanita semakin berani berpolitik dan melibatkan diri dalam proses pilihan raya. Perjuangan pergerakan kebangsaan seperti AWAS yang dipelopori oleh Tan Sri Aishah Ghani dan Kaum Ibu oleh Datin Putih Mariah Ibrahim merintis jalan kepada wanita untuk melebarkan sayapnya dalam bidang politik pada hari ini. Tan Sri Fatimah Hashim ialah wanita pertama yang dilantik memegang portfolio dalam Kabinet Malaysia. Beliau dilantik sebagai Menteri Kebajikan Am Malaysia dari 20 Mei 1969 hingga akhir Februari 1973. Semangat juangnya terpamer jelas apabila beliau bersama-sama penduduk tempatan berarak menentang Malayan Union sambil mendukung anak kecil dan mengheret tangan anak yang besar. Manakala Aishah ialah wanita pertama yang dilantik sebagai senator dan yang kedua memegang jawatan menteri apabila dilantik sebagai Menteri Kebajikan Am pada tahun 1972.\nPada hari ini, terdapat banyak ahli politik wanita menerajui beberapa portfolio penting dalam Kerajaan Malaysia seperti Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Datuk Zuraida Kamaruddin. Malahan, Pilihan Raya Umum ke-14 mencatatkan sejarah tersendiri dalam pentas politik negara apabila Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menjadi wanita pertama yang dinobatkan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Kepimpinan wanita dalam bidang politik sekali lagi mendapat pengiktirafan apabila Dato\u2019 Sri Azalina Othman Said dilantik sebagai wanita pertama menggalas jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 13 Julai 2020.\nPada masa ini, ruang politik di serata dunia adalah lebih kondusif kepada lelaki. Stigma masyarakat yang lebih mendukung kepimpinan lelaki menyebabkan penyertaan wanita dalam politik masih rendah berbanding lelaki. Menurut rekod oleh Inter-Parliamentary Union (IPU), hanya 51 daripada 192 buah negara mencapai sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam politik dunia. Malaysia berada pada kedudukan ke-146 dengan kadar 14.9 peratus. Kadar penglibatan wanita yang rendah di peringkat kepimpinan tertinggi negara akan menyebabkan keputusan yang dibuat mengenai isu-isu berkaitan dengan wanita terutamanya, kurang menepati kehendak dan kemahuan audiens sasaran.\nUmum mengetahui, kehadiran tokoh politik seperti Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Napsiah Omar, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman dan Datin Paduka Rahmah Othman banyak memberikan impak kepada pembangunan negara. Pembentukan Dasar Wanita Negara menjadi bukti kewibawaan wanita dalam menyuarakan pandangan di peringkat parlimen. Dasar Wanita Negara diperkenalkan pada tahun 1989 untuk mengarusperdanakan penyertaan wanita dalam pembangunan negara.\nMungkinkah pada suatu hari nanti, rakyat bersuara dan memilih wanita untuk menduduki tampuk tertinggi kepimpinan negara? Di Britain umpamanya, pelantikan Margaret Thatcher sebagai Perdana Menteri pada tahun 1979 meninggalkan kesan mendalam kepada negara itu. Margaret Thatcher telah diberi gelaran \u201cIron Lady\u201d oleh seorang wartawan Soviet atas kehebatan beliau menangani konflik Perang Dingin dan Perang Falklands. Kejayaan beliau membangunkan ekonomi Britain yang mengalami kemerosotan pada masa itu membuatkan beliau dipilih untuk terus menerajui Britain pada penggal kedua.\nSementara itu, kemenangan besar Jacinda Arden dalam pilihan raya umum New Zealand pada Oktober 2020 sekali lagi meletakkan beliau sebagai Perdana Menteri buat penggal kedua setelah dilantik buat pertama kalinya pada tahun 2017. Keupayaan Arden memerangi pandemik COVID-19 sehingga New Zealand diisytiharkan sebagai negara terawal bebas daripada COVID-19 pada gelombang pertama telah meletakkan beliau sebagai antara pemimpin politik yang dikagumi masyarakat dunia. Selain itu, kepimpinan beliau yang disifatkan sebagai mesra Islam jelas dipamerkan sewaktu beliau menangani krisis tragedi berdarah di Masjid Kilbirnie. \u00a0Ekoran daripada peristiwa hitam itu, beliau meminda undang-undang pemilikan senjata yang diguna pakai New Zealand. Malah beliau juga lantang bersuara mengutarakan isu yang menyentuh pusat rehabilitasi Xinjiang di China yang menindas penduduk minoriti Muslim Uighur serta permasalahan penduduk Rohingya di Myanmar. Ketokohan Arden memimpin New Zealand dan mendepani pelbagai konflik telah meniup gelombang kepimpinan politik wanita generasi muda di pentas politik dunia seperti Sanna Marin (Finland) dan Silveria Jacobs (Sint Maarten). Selain itu, dunia juga menyaksikan ketokohan wanita di arena politik dan sebagai pemimpin negara melalui kepimpinan Benazir Bhutto, iaitu wanita pertama yang memimpin sebuah negara Muslim pascakolonial dan Sirimavo Bandaranaike yang menjadi wanita pertama di dunia dilantik sebagai Perdana Menteri (Sri Lanka) pada tahun 1960 \u2013 1965 dan tahun 1970 \u2013 1977.\nWalaupun Malaysia mempunyai pemimpin politik wanita yang berkaliber dan bersuara lantang, namun belum ada bayangan bahawa Malaysia akan diterajui oleh pemimpin wanita. Sedangkan negara jiran seperti Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina, masing-masing mencatat sejarah tersendiri diterajui oleh tokoh hebat seperti Halimah Yacob, Yingluck Shinawarta, Megawati Soekarno Putri dan Gloria Macapagal Arroyo. Adakah Malaysia akan dipimpin oleh wanita hebat seperti ini pada masa hadapan? Sudah pastinya banyak perubahan yang perlu dilakukan oleh kerajaan dan parti politik dalam usaha mencipta sejarah baharu untuk meletakkan wanita duduk di kerusi nombor satu dalam barisan Kabinet Malaysia." "Golongan Muda Hidap Penyakit Buah Pinggang Tertinggi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPesakit kegagalan fungsi buah pinggang di Malaysia dijangka mencecah 106 ribu orang menjelang tahun 2040. Menurut kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato\u2019 Dr. Noor Hisham Abdullah, sebanyak 30 peratus daripada jumlah itu merupakan golongan muda berusia bawah 45 tahun. Hal ini sudah pasti akan mendatangkan impak negatif kepada sosioekonomi negara.\n\u201cHingga hari ini terdapat kira-kira 40 ribu orang pesakit kegagalan fungsi buah pinggang yang sedang mendapatkan rawatan dialisis di seluruh negara. Kajian mendapati bahawa kira-kira 8000 orang pesakit baharu disahkan pada tahun 2018 dan trend ini meningkat pada saban tahun. Jika hal ini berterusan, maka jumlah pesakit yang perlu dialisis akan mencecah 106 ribu pada tahun 2040,\u201c katanya ketika merasmikan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021 secara maya, pada 13 Mac 2021.\nSementara itu, sebanyak 61 peratus pesakit baharu yang memerlukan rawatan dialisis menghidap diabetes. Enam belas peratus pula menghidap tekanan darah tinggi yang berpunca daripada tabiat pemakanan dan gaya hidup tidak sihat.\nOleh itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menggiatkan kempen penjagaan buah pinggang oleh Perkhidmatan Nefrologi KKM, Persatuan Nefrologi Malaysia dan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah saringan ujian berkala penyakit buah pinggang dan penglibatan orang awam sebagai Duta Ginjal." "PBAKL 2021: Pesta Buku dalam Talian Terbesar di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama-sama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) menyambut baik saranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, melalui Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan inisiatif My Digital dalam usaha memperkasakan pertumbuhan ekonomi digital bagi menyokong pertumbuhan ekonomi industri perbukuan, menerusi penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2021 secara dalam talian.\nPBAKL 2021 yang merupakan pesta buku dalam talian terbesar di Malaysia akan diadakan pada 19 Mac hingga 4 April 2021 dan merupakan penganjuran edisi kedua yang diadakan di negara ini. Penganjuran pesta buku ini telah berjaya menarik lebih 135 penyertaan dalam kalangan penggiat industri buku \u00e2\u20ac\u201c peningkatan sebanyak 279 peratus berbanding dengan penyertaan 48 buah syarikat dan penerbit buku pada tahun lalu.\nPenganjuran PBAKL 2021 secara dalam talian ini merupakan inisiatif MBKM bagi membaik pulih ekonomi industri perbukuan negara yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19. Justeru, MBKM pada tahun ini menyasarkan sekurang-kurangnya sebanyak 100 ribu unit jualan buku dan berharap agar Pemerkasaan Ekonomi Digital ini dapat membantu hala tuju industri perbukuan ke arah mendepani cabaran agar lebih kekal kompetitif dengan kesedaran perubahan persekitaran, khususnya akibat penularan pandemik COVID-19.\nOrang awam yang ingin menyertai pesta buku antarabangsa ini boleh membuat pembelian buku melalui pautan: www.shopee.com/klibf2021." "Impak Banci Malaysia 2020: Jayakan Pembangunan Lestari 2030\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nSama ada kita sedari atau tidak, kadar pertumbuhan penduduk Malaysia yang tinggi dicatatkan sejak lebih 50 tahun lalu sebenarnya telah memberikan impak yang besar terhadap wajah kelestarian pembangunan negara hari ini meliputi sektor pendidikan, kesihatan, keselamatan, infrastruktur dan sosial masyarakat kita.\nBerpandukan Laporan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 bertajuk: Evolusi Penduduk Malaysia, perkembangan dan pertumbuhan penduduk di Malaysia berlaku secara dramatik sejak zaman penjajahan (1890-an), seterusnya kian meningkat dalam tempoh lima dekad lalu nyata memberikan kemakmuran ekonomi sehingga membolehkan masyarakat menikmati kehidupan yang lebih baik.\nLaporan Evolusi Penduduk 2020 menyebut bahawa Malaysia mencatatkan anggaran jumlah penduduk sebanyak 32.6 juta pada tahun 2019 berbanding dengan 32.4 juta orang pada tahun 2018. Jumlah ini merangkumi sebanyak 29.4 juta orang atau 90.2 peratus dalam kalangan warganegara dan 3.2 juta orang atau 9.8 peratus bukan warganegara.\nPerangkaan pada tahun 2019 itu menunjukkan bahawa penduduk lelaki melebihi penduduk perempuan. Penduduk lelaki meningkat daripada kadar 16.7 orang (2018) kepada 16.8 juta (2019). Penduduk perempuan turut meningkat daripada 15.7 juta (2018) kepada 15.8 juta orang bagi tempoh yang sama. Penduduk lelaki melebihi penduduk perempuan dalam kumpulan umur muda (0 \u2013 14 tahun) dan umur bekerja (15 \u2013 64 tahun). Sebaliknya penduduk perempuan melebihi penduduk lelaki dalam kumpulan umur tua (65 tahun dan lebih), iaitu 1.13 juta orang perempuan dan 1.06 juta orang lelaki.\nBerdasarkan statistik Jangkaan Hayat Malaysia 2019, bayi yang lahir pada tahun 2019 dijangka boleh hidup hingga umur 74.5 tahun. Jangka hayat perempuan ialah 77.4 tahun bagi perempuan dan 72.7 tahun bagi lelaki. Jangka hayat ini akan terus meningkat dari tahun ke tahun.\nTinjauan Ekonomi Malaysia 2020 menyaksikan penduduk Malaysia dijangka akan meningkat pada kadar 1.42 peratus daripada 32.6 juta pada tahun 2019 kepada 38.1 juta pada tahun 2030. Sesuatu yang perlu diambil perhatian ialah Malaysia akan mencapai status negara menua pada tahun 2030 berdasarkan unjuran yang dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).\nPBB menjangkakan sebanyak 15 peratus daripada penduduk Malaysia pada tahun 2030 terdiri daripada mereka yang berusia 60 tahun ke atas dan dikategorikan sebagai warga emas, iaitu kumpulan penduduk yang tidak memberikan sumbangan yang besar kepada produktiviti negara terutamanya sektor ekonomi.\nMengapakah begitu penting data seperti ini kepada kerajaan? Sebenarnya, data kependudukan, jantina, perumahan, isi rumah dan pendapatan sangat penting kepada kerajaan untuk menyediakan keperluan asas kepada 32.6 juta rakyatnya. Hal itulah sebabnya mengapa banci penduduk ini perlu dijayakan pada setiap lima tahun sekali yang bertujuan untuk mengenal pasti saiz, taburan, komposisi dan ciri sosioekonomi kependudukan serta perumahan negara kita.\nUntuk rekod, Malaysia tidak pernah gagal menjalankan aktiviti Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia yang dilakukan pada setiap dekad sejak tahun 1970. Malaysia mencatatkan jumlah penduduk sebanyak 10.4 juta pada tahun 1970 berasaskan data banci yang dijalankan pada era tersebut. Hal ini bermakna Malaysia telah melakukan lima kali banci dalam tempoh 30 tahun lalu dan kali keenam pada Julai 2020.\nUntuk banci kali keenam ini, kerajaan telah memperkenalkan kaedah Malaysia Integrated Population Census System (MyIPCS), iaitu ke arah memodenkan MyCensus 2020. Sistem berbanci berpusat dan komprehensif ini dengan peningkatan dan penambahbaikan ciri pembancian secara elektronik (e-Census) menyediakan satu rangka kerja bersepadu yang meliputi pengumpulan, analisa dan penyebaran data yang kompleks.\nOleh itu, pelaksanaan MyIPCS dalam banci 2020 memberikan manfaat kepada kedua-dua pengumpulan data dan responden bagi memastikan semua penduduk di seluruh negara diliputi melalui gerakan banci. Beberapa soalan tambahan mengenai butiran perumahan, kesihatan, gaya hidup dan hubungan sosial juga dimasukkan dalam Banci 2020 bagi memenuhi corak gaya hidup masyarakat.\nMalah, menurut Pesuruhjaya Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin, Banci Penduduk merupakan satu aktiviti yang sangat penting yang dilaksanakan oleh kebanyakan negara di seluruh dunia termasuk Malaysia. Sebagai rekod, negara kita berada di tangga keenam populasi Asia Tenggara, manakala Malaysia menduduki tangga ke-42 daripada 193 buah negara di dunia yang memiliki rekod sistematik populasi penduduknya. Selain Malaysia, negara jiran yang turut menjalankan Banci Penduduk tahun lalu ialah Filipina, Indonesia dan Singapura.\n\u201cSelain menyediakan statistik penduduk dan perumahan yang terperinci dan komprehensif\u00a0 mengikut ciri demografi dan sosioekonomi penduduk pada satu-satu masa, banci pada kali ini juga menyediakan maklumat asas untuk memantau Agenda Pembangunan Lestari 2030 yang merangkumi komitmen untuk membasmi kemiskinan, kesamarataan, kelestarian alam sekitar dan memastikan semua penduduk diliputi,\u201d jelas beliau.\nHasilnya, kerajaan berjaya memperoleh data yang lebih baik selaras dengan kemajuan teknologi dan perubahan gaya hidup rakyat Malaysia, pengumpulan maklumat banci secara dalam talian diperkenalkan menerusi Portal Banci dan aplikasi mudah alih.\nMelalui Banci Malaysia 2020, sebanyak 11.7 juta atau 36 peratus daripada 32.7 juta penduduk negara ini selesai dibanci meliputi 3.9 juta tempat kediaman. Daripada dapatan 11.7 juta orang penduduk yang direkodkan, warganegara Malaysia mencatatkan sebanyak 97.4 peratus berbanding dengan bukan warga negara (2.6 peratus).\nNamun begitu, akibat penular pandemik \u00a0COVID-19, fasa kedua Banci 2020 (secara bersemuka) yang bermula pada 7 hingga 24 Oktober 2020 lalu terpaksa dijadualkan semula kepada 20 Januari hingga 6 Februari 2021 lantaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.\nAkta Banci 1960 (disemak 1969) mewajibkan semua orang awam untuk mengambil bahagian dan menjawab semua soalan banci. Objektif utama pelaksanaan Banci 2020 adalah bertujuan untuk mengumpul stok dan profil penduduk dan perumahan yang komprehensif serta terperinci sehingga ke peringkat geografi terkecil sebagai penanda aras bagi cici demografi dan sosioekonomi penduduk.\nMaklumat daripada banci ini juga akan menentukan bagaimana pembiayaan kerajaan yang bernilai berbilion-bilion ringgit dapat dibelanjakan di seluruh negara. Penghasilan profil yang terperinci ini akan digunakan oleh kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membuat perancangan dan keputusan berkenaan perkhidmatan awam yang diperlukan bagi setiap lokaliti, seperti hospital, sekolah, jalan raya, bekalan air dan elektrik serta pengangkutan awam. Sama ada kita sedari atau tidak, kejayaan negara dan kesejahteraan hidup yang kita nikmati pada hari ini merupakan hasil daripada penyaluran maklumat penduduk daripada banci terdahulu.\nOleh itu, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 hanya akan dapat dijayakan dengan baik melalui Banci Penduduk dan Perumahan Negara yang komprehensif untuk menetapkan hala tuju baharu ekonomi bagi memastikan kesejahteraan bersama-sama semua rakyat Malaysia. Pastinya melalui data Banci 2020, wawasan 2030 yang bermatlamatkan pembangunan mampan dengan pengagihan ekonomi saksama serta inklusif merentasi setiap peringkat rantaian bekalan, etnik dan wilayah dapat dijayakan bagi mewujudkan kestabilan politik dan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia." "Bahasa Melayu dan Karya Sastera di Rantau Eropah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sidang ketujuh bagi pembentangan dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu dengan tema \u201cBahasa Melayu di Forum Antarabangsa\u201d telah disampaikan oleh empat orang pembentang yang terdiri daripada Sasterawan Negara, iaitu YBhg. Dato\u2019 Dr. Mohd Anwar Ridhwan, YBhg. Prof. Emeritus Dr. Dustin Cowell dari Universiti Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat, YBrs. Dr. Surya Suryadi, iaitu Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Asia Selatan dan Asia Tenggara Universiti Leiden Belanda, dan YBhg. Kapten (B) Dato\u2019 Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob, iaitu\u00a0Mantan Naib Canselor Universiti Malaya.\u00a0\nPembentangan yang diadakan secara langsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada hari ini dimulakan oleh YBrs. Dr. Surya Suryadi dengan tajuk \u201cSumbangan Belanda dalam Pengantarabangsaan Bahasa Melayu\u201d. Beliau menyatakan bahawa bahasa Melayu mula berkembang apabila penjelajah Belanda yang dipenjarakan di Acheh pada tahun 1599 hingga tahun 1602, iaitu Fredrick de Houtman menyusun sebuah kamus pertama yang mencatatkan kosa kata bahasa Melayu dalam bahasa Belanda dan contoh perkataan Belanda yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan tajuk \u201cPercakapan dan Kamus dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Madagaskar- dengan Banyak Perkataan Arab dan Turki\u201d.\nMenurut YBrs. Dr. Surya Suryadi, buku tersebut digunakan oleh orang Belanda untuk berkomunikasi dengan masyarakat Melayu dan turut diterjemahkan kepada bahasa Inggeris sebagai rujukan untuk para pelayar Barat berinteraksi dengan orang Melayu di Timur. Hal ini merupakan bukti bahawa Belanda sudah menyumbang dalam pengantarabangsaan bahasa Melayu sejak abad ke-16 lagi.\nTambah YBhg. Prof. Emeritus Dr. Dustin Cowell menerusi kertasnya yang bertajuk \u201cPerkembangan Pengajian Bahasa Melayu di Amerika Syarikat\u201d pula bermula dengan program antarabangsa di bawah naungan Akta Fulbright-Hays 1961, yang menggalakkan orang Amerika Syarikat mempelajari bahasa terkemuka di wilayah tertentu dan memahami secara mendalam mengenai budaya yang berkaitan dengan wilayah sasaran.\nUniversiti Cornell di bawah arahan Profesor John U. Wolf menubuhkan sebuah konsortium untuk Pengajaran Bahasa Indonesia pada tahun 1976, seterusnya konsortium tersebut dinamakan semula sebagai Konsortium Pengajaran Bahasa Indonesia dan Melayu pada tahun 1998 apabila konsortium tersebut diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia.\nTambah beliau lagi, terdapat sebuah program yang sangat berjaya, iaitu pelajar yang merupakan warganegara Malaysia atau Indonesia boleh memohon untuk menyertai program Fullbright yang bernama \u201cProgram Fullbright untuk Pembantu Pengajar Bahasa Asing\u201d, sama ada melalui Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia dengan Amerika Syarikat atau Yayasan Pertukaran Indonesia.\u00a0\nMenurut Sasterawan Negara, iaitu YBhg. Dato\u2019 Dr. Mohd Anwar Ridhwan dengan tajuk kertas kerjanya, iaitu \u201cKarya Sastera Mewakili Bahasa Melayu di Pentas dan Forum Antarabangsa\u201d, terdapat empat cadangan untuk mengatasi empat isu yang berkait dengan penterjemah, penerbit dan penerbitan, kekurangan ejen sastera, dan program antarabangsa.\nAntara cadangan yang dikemukakan bagi isu penterjemah adalah dengan melantik penterjemah yang menguasai bahasa asing dengan baik supaya nilai kesusasteraan dalam teks terjemahan dapat disampaikan dengan baik.\nSelain itu, beliau juga mencadangkan supaya karya sastera kebangsaan diterbitkan oleh syarikat penerbitan antarabangsa mengikut bahasa yang diterjemahkan agar karya terjemahan tersebut mampu disebarkan kepada negara sasaran dengan lebih meluas.\nBagi merealisasikan gagasan pengantarabangsaan bahasa Melayu, beliau turut mencadangkan supaya melantik ejen sastera yang sesuai bagi rantau Eropah, Amerika Syarikat dan Amerika Selatan, Afrika dan Asia. Hal ini demikian kerana tanpa ejen sastera, hasrat tersebut agak sukar untuk dilaksanakan. Pada masa yang sama, beliau turut memberikan penekanan terhadap program pengantarabangsaan karya sastera supaya dapat diwujudkan untuk diketengahkan kepada masyarakat dunia.\nSidang ketujuh ini diakhiri dengan pembentangan dan persembahan sajak yang bertajuk \u201cAntara Pengantarabangsaan dan Pengembangsaan\u201d oleh YBhg. Kapten (B) Dato\u2019 Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob, yang memberikan suntikan motivasi untuk terus memperjuangkan pengantarabangsaan bahasa Melayu.\nMantan Dekan Fakulti Pergigian Universiti Malaya ini menamatkan pembentangannya dengan menyatakan bahawa sesuatu bahasa itu tidak akan dimuliakan dan dimartabatkan sekiranya penuturnya tidak berwibawa.\nKita sebagai penutur bahasa Melayu mestilah mempunyai kewibawaan yang tinggi supaya kita bukan sahaja dihormati di kampung kita, malah di mana-mana sahaja." "Somalia Belang Harimau Besi Mengungkap Fakta Sebenar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSUNGAI PETANI\u00a0\u2013 Sebelum ini, seluruh dunia dipertontonkan fiem Black Hawk Down\u00a0yang memaparkan kemenangan tentera Amerika Syarikat dalam pertempuran di Mogadishu, Somalia. Walau bagaimanapun, filem tersebut tidak menceritakan fakta yang sebenar bahawa mereka diselamatkan dengan bantuan 100 orang tentera Malaysia, iaitu daripada Batalion Malaysia Pertama (MALBATT 1).\nSetelah 26 tahun berlalu, Mejar Jeneral Dato\u2019 Mohd Halim Khalid tampil untuk membetulkan fakta sejarah yang diketahui dan dipegang oleh banyak orang dan diputarbelitkan oleh pihak tertentu untuk kepentingan peribadi mereka.\u00a0 Maka, lahirlah buku Somalia Belang Harimau Besi, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang memaparkan kisah sebenar yang dilaluinya bersama-sama pasukannya\u00a0dalam misi menyelamatkan 70 orang anggota US Rangers yang terperangkap selepas dikepung oleh militia di Pasar Bakara, Mogadishu.\nBuku Somalia Belang Harimau Besi ini disempurnakan pelancarannya oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, di Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah. Yang turut hadir\nialah Mohd Halim yang kini bertugas sebagai Panglima di Markas Divisyen Kelima Infantri, di Kota Kinabalu, Sabah; Timbalan Ketua Pengarah Operasi DBP, Tuan Haji Abdul Halim Harun; Puan Siti Zawiyah Yahya, iaitu balu Allahyarham Koperal Mat Aznan Awang yang terkorban dalam misi tersebut dan sebahagian veteran pertempuran Somalia (bersara)." "Jangan Gusar Suntik Vaksin pada Bulan Puasa \u2013 Sultan Selangor\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, meminta rakyat di negeri ini tidak gusar untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19 ketika berpuasa pada bulan Ramadan dan mengingatkan rakyat agar menerima saranan pihak kerajaan dengan mendaftarkan diri melalui aplikasi MySejahtera dan SeLangkah, serta cara lain bagi mendapatkan suntikan vaksin tersebut.\nJelasnya lagi seperti yang digariskan dalam inti pati khutbah Jumaat di seluruh Selangor pada hari ini bahawa perkara itu telah diperhalusi dan dibincangkan untuk menetapkan hukum keharusannya melalui Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-118, pada 16 hingga 17 Februari 2021 dan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, pada 9 Mac 2021.\nMenerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office,\u00a0baginda turut memanjatkan doa agar rakyat di Selangor terus dirahmati dan dilindungi daripada segala bentuk ancaman serta penularan wabak COVID-19.\n\u201cMudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan hamba Allah yang bersabar ketika menempuh segala penyakit yang menimpa, berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan tatacara amalan kebiasaan baharu untuk memerangi COVID-19 demi keselamatan diri serta masyarakat,\u201d titahnya." "Ramadan dan Aidilfitri, Indonesia Larang Mudik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIndonesia melaporkan hampir 1.5 juta \u00a0orang rakyatnya dijangkiti COVID-19 dan lebih 40 ribu kematian.\u00a0 Rentetan itu, negara tersebut telah melarang mudik,\u00a0 iaitu amalan tahunan yang menyaksikan jutaan rakyatnya pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri. Hal ini disebabkan kebimbangan akan peningkatan jangkitan COVID-19.\nPada Jumaat (26 Mac 2021), pemerintah Indonesia mengeluarkan arahan melarang mudik disebabkan kebimbangan akan peningkatan jangkitan COVID-19. \u201cTidak akan ada Mudik pada 2021,\u201c kata Menteri Kebudayaan Muhadjir Effendy dalam satu kenyataan.\nNamun begitu, beliau menambah beberapa orang mungkin mendapat pengecualian untuk \u201cperjalanan terdesak\u201c, tanpa memberikan penjelasan lanjut. Negara tersebut pada awalnya mengumumkan rancangan untuk memvaksinasi lebih 181 juta orang penduduknya dalam\u00a0 tempoh setahun." "Vaksin: Usaha Menentang COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSelamatkah? Dilaporkan ada nyawa yang melayang di beberapa buah negara setelah menerima suntikan. Ada kesan sampingan? Bagaimana pula dengan pendedahan video yang mengaitkan mikrocip elektronik yang dimasukkan ke dalam vaksin melalui teknologi nano yang dikatakan mampu mengesan kedudukan manusia?\nBolehkah umat Islam mengambilnya? Bukankah terdapat sumber yang haram dan meragukan? Lagipun, vaksin ialah agenda Yahudi! Yang paling penting, bagaimana mereka berjaya menghasilkan vaksin dalam masa setahun? Adakah mereka meninggalkan beberapa langkah utama bagi mempercepat penghasilannya?\nAmat malang dan sungguh menyedihkan! Biarpun dianggap sebagai keajaiban perubatan dan merupakan jalan keluar daripada belenggu pandemik COVID-19, banyak pihak yang mempertikai dan menafikan keberkesanan vaksin.\nMemetik kata-kata Profesor Melinda C. Mills, Pakar Sosiologi dan Demografi dari Universiti Oxford yang juga Pengarah di Pusat Demografi Sains Leverhulme, dalam British Medical Journal (BMJ) yang diterbitkan pada 17 Februari lalu, sebilangan orang menyebarkan maklumat yang salah mengenai vaksin \u2012 maklumat palsu dengan niat jahat atau maklumat yang mengelirukan, berdasarkan kepercayaan yang salah. Apa-apa yang membimbangkan ialah kedua-duanya meningkatkan keraguan terhadap vaksin, yang disenaraikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai satu daripada 10 ancaman kesihatan utama. Akibatnya amat jelas. Sebagai contoh, walaupun vaksinasi campak telah menyelamatkan 23 juta nyawa, maklumat yang salah sering dikaitkan dengan peningkatan kes penyakit ini.\nAntara maklumat palsu mengenai vaksin ialah heterogenus, disebarkan oleh kumpulan yang bermula daripada golongan pendukung kebebasan (libertarian) antivaksin yang kononnya melindungi kebebasan awam termasuk golongan ibu bapa yang prihatin dan orang yang peka terhadap kesihatan. Dalam keadaan yang tidak menentu dan masyarakat kebanyakannya berhadapan dengan maklumat yang rumit dan berkembang, sekitar 25 peratus rakyat Amerika Syarikat (AS) dilaporkan telah berkongsi berita palsu secara tidak sengaja. Manakala sebilangan besar (70 peratus hingga 83 peratus) masyarakat di AS dan Eropah menggunakan internet untuk mencari maklumat kesihatan, pada kebiasaannya di media sosial. Contohnya, lebih daripada 65 peratus kandungan YouTube mengenai vaksin nampaknya tidak menggalakkan penggunaannya \u2012 memfokuskan pada autisme, reaksi buruk atau kandungan merkuri. Algoritma carian mempromosikan kandungan yang serupa dengan apa-apa yang pernah dilihat oleh pengguna sebelumnya, menyebabkan banyak pihak memasuki ruang gema yang semakin sempit dengan maklumat palsu.\nKajian di United Kingdom pada tahun ini mendapati pengguna yang bergantung pada media sosial untuk mendapatkan maklumat terutamanya dari YouTube, secara signifikan kurang bersedia untuk diberikan vaksin. Hal ini dikatakan demikian kerana ramai yang terpengaruh dengan teori konspirasi COVID-19 yang mengatakan bahawa pandemik tersebut dirancang bagi mengurangkan populasi dunia.\u00a0 Lantaran itu, pengambilan vaksin yang dihasilkan dalam tempoh masa yang begitu pantas hanya akan menguntungkan pihak tertentu yang dikatakan memandang sebelah mata aspek keselamatan serta kesan sampingan kepada pengguna.\nTENTANG VAKSIN\nVaksin berfungsi dengan mendedahkan sistem kekebalan tubuh kepada sejumlah kecil virus atau \u201cmaklumat\u201d mengenai virus, cukup untuk \u201cmengajar\u201d vaksin mengenali dan bertindak balas terhadap patogen itu. Ideanya adalah bagi mendedahkan tubuh kepada virus dengan cara terkawal untuk \u201cmelatih\u201d vaksin mencegah jangkitan.\nPenciptaan vaksin bermula pada tahun 1796 apabila Edward Jenner mendapati, dengan mendedahkan jumlah kecil virus cacar yang disebut vaccinia atau virus vaksin adalah lebih selamat daripada mendedahkan mereka kepada virus variola yang menjangkiti manusia. Oleh itu, inokulasi terhadap virus vaksin pada akhirnya menjadi istilah umum yang digunakan pada hari ini \u2012 vaksinasi. Penemuan ini benar-benar merevolusikan penjagaan kesihatan awam.\nPertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyebut cacar air sebagai satu daripada penyakit paling dahsyat yang diketahui oleh umat manusia kerana penyakit tersebut menyebabkan berjuta-juta kematian di seluruh dunia selama kira-kira 3000 tahun. Cacar secara rasmi dibasmi pada tahun 1980, menerusi program vaksinasi global yang konsisten. Pada 8 Mei tahun itu, Majlis Kesihatan Sedunia ke-33 membuat pengumuman bersejarah: \u201cDunia dan semua rakyatnya telah memenangi kebebasan daripada virus cacar.\u201d Menurut WHO, pada abad ke-20 sahaja, cacar telah meragut sekitar 300 juta nyawa. Hingga hari ini, dunia telah memiliki vaksin untuk mencegah lebih daripada 20 penyakit yang mengancam nyawa.\nMITOS DAN FAKTA MENGENAI VAKSIN \nDisebabkan pencapaian vaksin yang gemilang, penyelidikan saintifik sama sekali menolak dakwaan vaksinasi tidak selamat serta mempunyai kaitan dengan autisme. Malah, para saintis juga percaya bahawa vaksin memperkuat dan bukannya melemahkan sistem imun. Walaupun kekebalan semula jadi kadangkala lebih kuat daripada imuniti yang diperoleh melalui vaksin, tetapi memperoleh imuniti secara semula jadi yang \u00a0mendedahkan anak-anak kepada risiko kesihatan merupakan sesuatu yang tidak seharusnya berlaku.\nAda juga yang mendakwa vaksin mengandungi toksin pada tahap yang tidak selamat untuk tubuh manusia. Pada hakikatnya, sedar tidak sedar kita sememangnya terdedah kepada bahan-bahan yang diperoleh secara semula jadi melalui makanan dan banyak produk lain. Menurut Jawatankuasa Makanan dan Ubat (FDA) AS, kandungan merkuri dalam dos standard vaksin yang mengandung tiomersal (thimerosal) adalah hampir sama dengan yang terdapat dalam tin tiga auns tuna. Kenyataan daripada Projek Pengetahuan Vaksin di Universiti Oxford, United Kingdom mendedahkan, buah pear mengandungi sekitar 50 kali lebih banyak formaldehid daripada yang terdapat dalam apa-apa vaksin sekali pun.\nVAKSIN TERPANTAS DIHASILKAN\nMemandangkan vaksin terpantas \u2012 vaksin beguk (mumps) \u2012 memerlukan masa selama empat tahun untuk dihasilkan, adalah wajar jika kita berasa khuatir mengenai keselamatan dan keberkesanan vaksin COVID-19.\nMenerusi temu bual bersama-sama WIRED Health: Tech pada Oktober lalu, Dr. Tal Zaks, Ketua Pegawai Perubatan Moderna Therapeutics dan Profesor U\u011fur \u015eahin, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif BioNTech menjelaskan, dengan mempunyai akses kepada dana yang lebih banyak bermakna penyelidik dapat menjalankan kajian dan penyelidikan dengan lebih pantas, tanpa perlu berasa bimbang akan kesan kehilangan modal sekiranya calon vaksin mereka tidak lulus ujian keselamatan atau keberkesanan.\nProfesor \u015eahin menjelaskan: \u201cSatu aspek penting yang diketengahkan bukannya dengan melangkau atau mengurangkan langkah, kami memutuskan untuk melakukan sesuatu secara seiring. Pada kebiasaannya, dalam pengembangan vaksin, kajian fasa pertama dilakukan. Mungkin enam atau 12 bulan kemudian, kajian fasa kedua dilakukan. Selepas itu barulah akan diputuskan sama ada kajian fasa ketiga perlu dilakukan atau tidak. Hal ini dilakukan bukan sahaja untuk meminimumkan risiko kos tetapi juga berdasarkan cara tradisional (di mana-mana vaksin dihasilkan). Ini bukan cara terbaik tetapi hanya kaedah yang dilakukan secara tradisional.\u201d\nSelain dana yang besar, penyelidik tidak bermula daripada kosong ketika mereka mengetahui mengenai SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan COVID-19. SARS-CoV-2 ialah ahli keluarga koronavirus. Menurut Institut Alergi Nasional dan Penyakit Berjangkit AS, terdapat beratus-ratus koronavirus termasuk empat yang boleh menyebabkan selesema biasa, serta koronavirus yang mencetuskan SARS atau sindrom pernafasan akut yang teruk \u2012 wabak pada tahun 2002, dan kemunculan MERS atau sindrom pernafasan Timur Tengah, pada tahun 2012.\nDr. Eric J. Yager, Profesor Mikrobiologi Bersekutu di Albany College of Pharmacy and Health Sciences di Albany, New York memberitahu bahawa para saintis telah mempelajari dan mengkaji koronavirus selama lebih daripada 50 tahun. Hal ini bermaksud para saintis mempunyai rekod data mengenai struktur, genom dan kitaran hidup virus jenis ini. Dr. Yager menjelaskan: \u201cKajian terhadap virus-virus ini membuktikan pentingnya protein lonjakan virus (S) dalam perlekatan, perlakuran dan kemasukan, serta mengidentifikasi protein S sebagai sasaran perkembangan terapi antibodi dan vaksin.\u201d Tambah beliau: \u201cUsaha awal para saintis di Universiti Oxford untuk membuat vaksin berasaskan adenovirus untuk menentang MERS memberikan pengalaman eksperimen yang diperlukan dan asas untuk mengembangkan vaksin adenovirus untuk COVID-19.\u201d\nSeterusnya, kolaborasi antara penyelidik dengan saintis sedunia memudahkan proses penghasilan vaksin COVID-19. Di tengah-tengah wabak global, para penyelidik cepat bergerak untuk berkongsikan data koronavirus yang diketahui dengan saintis lain. Dr. Yager mengatakan bahawa berkat kemajuan dalam penjujukan genom, para penyelidik berjaya menemukan urutan virus SARS-CoV-2 pada Januari 2020. Kira-kira 10 hari selepas kes pneumonia pertama kali dilaporkan di Wuhan, China, keupayaan untuk mempercepat penyelidikan dan ujian klinikal merupakan hasil langsung daripada kerjasama di seluruh dunia ini.\nTEKNOLOGI MRNA\nBeberapa buah negara telah mula memberikan vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19. Ini ialah vaksin mRNA pertama yang digunakan pada manusia di luar ujian klinikal. Syarikat lain yang mengusahakan vaksin mRNA COVID-19 ialah Moderna, yang bekerjasama dengan Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) AS. Selain perkembangan vaksin yang pantas, kedua-dua syarikat ini merupakan pelopor dalam teknologi mRNA. \u201cPandemik ini telah memasuki era baharu penyelidikan vaksin. Kolaborasi saintis global dan penghasilan vaksin mRNA menyamai kejayaan \u2018pendaratan manusia di bulan\u2019,\u201d kata Dr. Yager.\nCabaran pada masa kini sebenarnya adalah untuk memastikan kelancaran penerimaan vaksin oleh masyarakat secara meluas. Apa lagi alasan anda untuk menafikan vaksin sebagai kaedah perubatan yang terbukti berkesan dan selamat? Buka minda dan lapangkan dada dengan membaca daripada sumber yang benar dan sahih. Percayalah, anda akan lebih sihat dan selamat!" "365 Hari: Citra dan Aspirasi Mohd Zuki Ali\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPUTRAJAYA \u2013 Perkhidmatan selama 365 hari Tan Sri Mohd Zuki Ali sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) ke-15 yang bermula pada 1 Januari 2020, menjadi penuh bermakna apabila sebuah buku garapan beliau bertajuk 365 Hari: Citra dan Aspirasi Mohd Zuki Ali, diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nKarya sulung Mohd Zuki ini menghimpunkan 19 ucapan, tiga wawancara dan dua artikel beliau sebagai KSN sepanjang tahun 2020. Buku ini merupakan adunan daripada kumpulan amanat, ucaptama dan ucapan serta turut diperjelaskan menerusi wawancara dan artikel media yang bersesuaian bagi menggambarkan pemurnian hasrat dan cetusan idea beliau sebagai pemimpin utama sektor awam di Malaysia. Mohd Zuki dilantik sebagai KSN dengan limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, pada 1 Januari 2020.\nBuku ini akan membawa pembaca menelusuri kembara 365 hari beliau sebagai KSN dengan perkongsian pelbagai peristiwa penuh cabaran yang unik dan tidak pernah berlaku dalam sejarah negara. Malah, sejak dilantik sebagai KSN, beliau terkenal dengan prinsip FASTER (Flatter, Agile, Streamlined, Tech-enabled, Efficient dan Resilient) dalam perkhidmatan awam.\n\u201cFASTER merujuk kerja secara Flatter, Agile, Streamlined, Tech-enabled, Efficient dan Resilient.\u00a0Prinsip ini mesti diamalkan dan dilaksanakan oleh semua peringkat. Sebagai contoh, ketika lawatan saya ke tapak tebing runtuh di Pasir Mas, Kelantan, baru-baru ini, saya melihat sendiri lebih daripada 50 buah rumah musnah dalam kejadian tanah runtuh tersebut dan semua pihak yang bertanggungjawab bersama-sama melaksanakan tindakan susulan secara strategik. \u00a0JKR dan JPS umpamanya telah membuat analisis kerosakan dan anggaran penambahbaikan, manakala Kementerian Alam Sekitar dan Jabatan Perdana Menteri telah menyediakan kertas cadangan segera untuk diangkat ke Mesyuarat Kabinet,\u201c ujar Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Buku 365 Hari: Citra dan Aspirasi Mohd Zuki Ali,\u00a0yang diadakan di The Glass Suite, Bora Ombak, Marina, Putrajaya.\nMajlis tersebut turut dihadiri oleh Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam; Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri; Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia; Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP; dan Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP. Majlis tersebut juga turut dihadiri oleh ketua pengarang media tempatan." "Belia Berkemahiran Tinggi Melalui Pengajian Kraf\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR, 29 Mac \u2013 Institut Kraf Negara (di bawah pengurusan Kraftangan Malaysia) mempelawa golongan belia di seluruh negara yang berkelayakan untuk mengikuti program pengajian bagi sesi Julai 2021 dalam bidang kraf berteraskan kemahiran, iaitu Program Diploma dan Sijil di Institut Kraf Negara atau Program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).\n\nInstitut Kraf Negara menawarkan pengajian berteraskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan akademik untuk memenuhi keperluan tenaga mahir dalam bidang kraf industri kreatif seiring dengan kehendak industri. Kini, Institut Kraf Negara telah membuka dua lagi kampus baharu, iaitu Kampus Satelit Sabah di Inanam dan Kota Belud serta Kampus Satelit Sarawak di Kuching dan Betong, Sarawak.\nProgram yang ditawarkan termasuklah\u00a0 Program Diploma \u2013 Tiga Tahun (Penempatan di Institut Kraf Negara, Rawang, Selangor); Program Sijil \u2013 Dua Tahun; (Penempatan di Institut Kraf Negara, Rawang, Selangor); Program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) \u2013 Dua Tahun (Penempatan di Institut Kraf Negara, Rawang, Selangor, Kampus Satelit Sabah dan Kampus Satelit Sarawak).\nAntara kemudahan dan kelebihan bagi kedua-dua program yang ditawarkan ialah para pelajar akan menerima kemudahan seperti asrama, alatan dan bahan bengkel disediakan, elaun sara hidup bulanan, makan dan minum serta insuran perlindungan pelajar. Permohonan kini dibuka dan dibuat secara dalam talian dari 1 Disember 2020 hingga 15 Jun 2021. Sebarang pertanyaan lanjut boleh layari laman web [email\u00a0protected] atau hubungi talian 019-30005709." "Kes COVID-19 Terendah Tahun Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2013 Sebanyak 941 kes baharu COVID-19 direkodkan pada hari ini menjadikan kes kumulatif setakat ini sebanyak 342 885 kes. Jumlah tersebut juga yang terendah pernah dicatatkan pada tahun ini selepas kali terakhir kes harian dicatatkan di bawah angka 1000 ialah pada 9 Disember 2020.\nBerikut Ringkasan Status Terkini COVID-19 (29 Mac 2021): \nKes sembuh = 1097\nJumlah kes sembuh = 327 406\nKes baharu positif = 941 (933 tempatan, 8 import)\nJumlah positif = 342 885\nKes kematian = 5\nJumlah kes kematian = 1260\nKes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) = 166\nBantuan alat pernafasan = 73" "Sekolah Kembali Dibuka Sepenuhnya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPenularan pandemik COVID-19 memberikan kesan yang besar terhadap pelbagai sektor, antaranya sektor pendidikan sehingga menyebabkan beberapa siri penutupan sekolah di seluruh negara \u2012 yang terakhir pada Julai tahun lalu. Dengan mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada pertengahan Februari lalu mengumumkan pembukaan sekolah secara berperingkat, bermula dengan kehadiran pelajar prasekolah dan sekolah rendah pada 1 Mac lalu.\nSepertimana yang dijadualkan, pada hari ini, pelajar sekolah menengah menjadi kelompok pelajar terakhir yang kembali ke sekolah setelah hampir sembilan bulan menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Kelompok ini meliputi pelajar dari negeri Kumpulan B, iaitu Kuala Lumpur, Labuan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Putrajaya, Sabah, Selangor, Sarawak dan Sabah, kecuali bagi pelajar di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Tawau.\nTinjauan di beberapa buah sekolah di sekitar ibu negara mendapati, proses penerimaan pelajar sekolah menengah pada kali ini berjalan dengan lancar berikutan usaha sama semua pihak dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), bermula dengan penyediaan dan penandaan laluan khas pelajar, saringan suhu sebaik-baik sahaja memasuki perkarangan sekolah, penyediaan pensanitasi tangan, amalan penjarakan fizikal dan sebagainya.\nGolongan pendidik antara lain yang turut berasa teruja untuk menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran bersama-sama pelajar secara bersemuka. \u201cApa-apa yang penting, masing-masing perlu melazimkan diri dengan kebiasaan baharu dan norma baharu dengan cara mematuhi SOP yang ditetapkan agar segala-galanya berjalan dengan lancar,\u201d kata Ainin Atikah Mohd. Shukri, Guru Pendidikan Agama Islam dari Sekolah Menengah Sains Seri Puteri.\nBeliau turut berharap agar ibu bapa sentiasa peka terhadap tahap kesihatan anak-anak bagi mengelakkan kemungkinan pandemik ini menjangkiti anak-anak mereka seterusnya mengakibatkan berlaku penularan di sekolah.\nVideo: Suasana persekolahan dengan amalan kebiasaan baharu dan norma baharu di Sekolah Menegah Kebangsaan Perimbun, Selangor, sekitar jam 7.00 pagi, pada 5 April 2021." "Dadah daripada Najis Lembu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPolis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan kegiatan menghasilkan dadah dengan cara kotor dan jijik seperti daripada cendawan yang tumbuh pada najis lembu untuk digunakan bagi tujuan hiburan.\nTimbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, DCP Zainudin Ahmad berkata, dadah jenis tersebut kebanyakan dalam bentuk cecair yang sering digunakan dengan dicampurkan ke dalam minuman sewaktu penganjuran parti liar dan di pusat hiburan.\nJelasnya, najis lembu akan mengeluarkan cendawan dan akan diproses menjadi dadah yang membolehkan orang yang mengambilnya berhalusinasi. Walau bagaimanapun, penggunaan dadah tersebut masih sedikit dan kurang popular di pasaran tempatan berbanding dengan dadah jenis ganja, syabu dan heroin yang masih mendapat permintaan tinggi. Namun begitu, pihaknya sentiasa berwaspada dengan permintaan dadah pada masa kini.\nKetika diminta mengulas mengenai trend baharu pengedaran dadah ketika negara dilanda pandemik, Zainudin berkata, sindiket tersebut kini semakin aktif menggunakan perkhidmatan e-panggilan (e-hailing), kurier dan e-dagang untuk meneruskan aktiviti mereka.\nUjarnya lagi kepada BERNAMA selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi, sejak 18 Mac tahun lalu hingga 5 Mac 2021, pihaknya telah membuat 156 tangkapan yang melibatkan penghantar dan penerima iaitu e-penggilan (40 tangkapan), kurier (100) dan e-dagang (16). Kerjasama PDRM dengan syarikat perkhidmatan kurier sangat baik dan mereka akan melaporkan jika terdapat maklumat pada barangan yang mencurigakan." "DBP Menangi Lima Kategori Anugerah Buku Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2013 Pada 7 April 2021, penerbit buku ulung negara, Dewan Bahasa dan Pustaka memenangi lima kategori Anugerah Buku Negara Tahun 2020/2021 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) baru-baru ini.\n\u201cIkan Pelaga: Khazanah Unik Nusantara\u201d, tulisan Mohamad Zaini Suleiman, memenangi kategori Buku Umum Popular (Flora dan Fauna). Editor buku ini ialah Nurfarhana Hamzah. Bagi kategori Buku Sains Politik Terbaik pula, \u201cIdea-Idea Besar Ekonomi dan Politik Dunia\u201d, tulisan Zulkifli Salleh, dipilih sebagai pemenang. Editornya ialah Zalimah Yahaya. Kategori Buku Biografi Terbaik menyaksikan \u201cSheikh Abdullah Basmeih\u201d, karya Wan Ramizah Hasan terpilih sebagai pemenang. Editor buku ini ialah Mohd Riduwan Wahab. Karya Profesor Madya Dr. Noraini Talip, \u201cBombacaceae: Ciri Anatomi dan Mikrofungi Daun\u201d, mengungguli kategori Buku Sains dan Teknologi Terbaik. Editornya ialah Mohd Amizi Ikman Amran. Untuk kategori Buku Sejarah Terbaik, karya Profesor Dato\u2019 Dr. Ahmad Murad Merican, \u201cBatu Uban Sejarah Awal Pulau Pinang\u201d, dipilih sebagai pemenang. Editor buku ini ialah Rohaida Baharudin.\nPenyampaian hadiah disempurnakan oleh YB Dato\u2019 Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) bersempena dengan Persidangan Industri Kreatif Kebangsaan 2021. Turut hadir ialah Tan Sri Profesor Datuk Wira Abdul Latif Abu Bakar, Pengerusi Panel Jawatankuasa Pemilih Anugerah Buku Negara dan Hasan Hamzah, Pengerusi Yayasan Pembangunan Buku Negara." "Bahasa Melayu Tunjang Peradaban Bangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pengerusi \u00a0Sosiobudaya Warisan Dunia Melayu Dunia Islam, YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar (Malaysia) menyambut baik saranan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob bersama-sama pemimpin ASEAN untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua di rantau ASEAN. Beliau yang berkongsi pandangan sebagai panel Sidang 8 bersempena dengan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu mengulas lanjut tentang peranan bahasa dan bangsa Melayu yang turut mewarisi budaya yang tinggi dalam peradaban Melayu.\nKatanya, bahasa Melayu sebagai tunjang peradaban. Sebagai ilmuwan, aktivis dan pejuang bahasa, beliau sering mengingatkan kerajaan dan masyarakat awam untuk sama-sama memartabatkan bahasa Melayu sebagai teras peradaban. Dari umur 30-an hingga 70-an, beliau bersama-sama Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) memperjuangkan bahasa. Baginya, buat pertama kalinya di bawah Unit Pejabat Perdana Menteri merealisasikan gagasan memartabatkan bahasa Melayu secara jelas. Pertemuan dalam simposium ini merupakan lanjutan daripada saranan YAB Perdana Menteri untuk memperjuangkan dan memartabatkan bahasa Melayu.\nDalam konsep geopolitik budaya warisan Melayu, terdapat satu kumpulan yang idealistik untuk memperjuangkan bahasa dan budaya. Walaupun berlaku pelbagai halangan, perjuangan ini tetap tidak berubah untuk menaikkan kedudukan bahasa Melayu dan bukannya bahasa Malaysia, yang sudah termaktub dalam Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan. Dalam hal ini, GAPENA menjadi penghubung antara perjuangan Melayu serumpun dengan dunia Islam.\nMenurutnya, perjuangan memartabatkan bahasa sebagai tunjang peradaban dan maruah bangsa bukan suatu perkara yang mudah. Semangat jitu yang ditonjolkan oleh para ilmuwan terdahulu tetap tidak berganjak walaupun negara silih bertukar ganti pucuk pimpinan.\nBagi membuktikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, GAPENA turut bertegas dalam tuntutannya supaya mata pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Melayu. Ternyata perjuangan ini berjaya dan diteruskan hingga peringkat institusi pengajian tinggi.\nGAPENA selain memberikan teguran membina terhadap mana-mana pihak yang cuba menggagalkan usaha memartabatkan bahasa, malah menyambut baik Akta DBP 1959 diperkasakan supaya menjadi badan penguat kuasa bahasa yang disegani, seterusnya pertubuhan ini menuntut supaya diadakan pelapis baharu sebagai penyambung warisan bahasa dan istilah bahasa Melayu perlu dikekalkan sebagai bahasa warisan bangsa.\nDalam sidang yang sama, menurut Sasterawan Negara (SN), YBhg. Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh (Malaysia), \u201cBahasa Melayu sebagai bahasa jiwa dan bahasa hidup saya. Saya juga manusia sejagat hidup dengan orang lain, dan ditakdirkan melalui perjalanan panjang untuk menyeberang beberapa buah bahasa.\u201d\nBeliau lahir dalam dua zaman kolonialisme, iaitu pada era pendudukan Jepun dan Inggeris di negara ini. Beliau juga sempat memasuki sekolah Melayu untuk beberapa tahun sahaja. Pada masa itu, penjajah Inggeris menganggap bahasa Melayu tiada hak dan tidak layak untuk memberikan ilmu pada peringkat tertinggi. Beliau mendapat pendidikan bahasa Melayu daripada guru yang tidak terlatih. Akhirnya, beliau belajar sendiri, mengambil peperiksaan sendiri dan lulus sendiri. Beliau juga mempelajari bahasa Inggeris daripada guru yang terlatih dan mahir.\nSaya cepat jatuh cinta dengan karya William Shakespeare melalui guru saya, Mr. Baird. Saya terus mengikut jalan sasteranya hingga ke Brinsford Lodge di Wolverhampton dan Universiti Singapura. Maka itu, di sebelah pihak, emas dan permata dilukis dan diserlahkan dan di pihak lain, mutu manikam di kebun kita sendiri tidak dikenali dan masih tidak diberikan watak dan penampilan yang sewajarnya.\nDi taman bahasa Melayu, beliau mengakui bahawa beliau menemui belantara dengan tumbuhannya yang luar biasa, bunyinya yang merdu dan khazanah yang hampir jarang-jarang disentuh.\nSaya menghidap semacam penyakit gangguan disebabkan bahasa ini dan manuskrip serta teks yang belum dialih aksara. Jadi, saya mencari teks tertua Sulalat al-Salatin, mentranskripsi dan mengkaji, serta akhirnya menulis sejumlah sajak yang didasarkan pada bab-babnya.\nSetelah itu, beliau menterjemahkannya kembali ke dalam bahasa Inggeris kontemporari untuk generasi baharu. Projek yang sama dilakukannya untuk naskhah tertua Hikayat Hang Tuah versi terawal tahun 1762. Sajak beliau yang hampir 80 buah sudah siap dan ada yang sedang diusahakannya.\nDua orang lagi pembentang kertas kerja, iaitu Profesor Dr. Su Yingying atau nama Melayunya, Suria dari China pula membentangkan kertas kerjanya secara maya berkaitan dengan perkembangan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di China. Menurutnya, sejumlah 41 orang pensyarah China jurusan Bahasa Melayu dan tujuh orang pakar asing dari Malaysia menjadi tenaga pengajar di 13 institusi pengajian tinggi China. Sejumlah 457 orang siswa jurusan Bahasa Melayu peringkat sarjana muda dan enam orang sarjana sedang belajar di kampus. Sejumlah 965 orang lepasan peringkat sarjana muda dan 10 orang sarjana telah berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh 60 tahun.\n\u201cDalam tempoh 60 tahun yang lalu, pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di China telah mendapat pencapaian yang cukup membanggakan dengan bantuan dan sokongan daripada pihak Malaysia yang terlibat, biarpun kadangkala menghadapi cabaran dan kesukaran. Sebagai perkongsian kejayaan pelajar, setakat ini mahasiswa jurusan Bahasa Melayu di China pernah muncul johan dua kali, naib johan lima kali dan tempat ketiga satu kali dalam sejumlah 14 sesi Pertandingan Pidato Antarabangsa Piala Perdana Menteri. Inilah satu daripada bukti kejayaan pendidikan program pengajian Melayu di China.\u201d\nSementara itu, YBrs. Dr. Faridah Yaakob (Kampuchea) pula berkongsi pandangannya tentang perkembangan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat Kemboja. Menurutnya, dalam dunia era globalisasi negara itu juga memperlihatkan ilmu yang begitu pantas. Kemajuan dalam teknologi maklumat memberikan kesan secara langsung terhadap perkembangan bahasa Melayu di negara itu. Penerimaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat Kemboja makin meningkat ekoran beberapa siri pertemuan atau hasil hubungan baik antara DBP dengan kerajaan di sana dalam pengembangan bahasa Melayu sejak tahun 1999, pengaruh massa seperti penghijrahan rakyat Kemboja ke Malaysia, pendidikan dan penyebaran bahasa Melayu.\nBahasa Melayu amat sesuai bagi masyarakat Kemboja disebabkan bahasa Melayu digunakan dalam sistem pendidikan pengajaran agama di sekolah. Terdapat kebolehan bahasa dan kebersamaan bahasa. Misalnya, banyak perkataan Cham yang mempunyai maksud yang sama dengan bahasa Melayu seperti mata, tangan, kaki, betis, jalan dan kerbau." "Anugerah Khas Tokoh UNESCO-KLWBC 2020\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2013 Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menerima Anugerah Khas Tokoh UNESCO-KLWBC 2020 pada 8 April 2021.\nAnugerah itu disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato\u2019 Seri Dr. Noraini Ahmad di Dewan Tun Hussein Onn, WTC bersempena dengan Anugerah Buku Negara 2020/2021.\nProfesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, putera kelahiran Pontian, Johor, ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Sebelumnya beliau telah menyandang beberapa jawatan akademik dan pentadbiran, antaranya: Profesor Bahasa di Universiti Putera Malaysia, Profesor Bahasa di Universiti Malaya, Penyandang Kursi Pengajian Melayu Kementerian Pendidikan Tinggi di Beijing Foreign Studies University, Republik Rakyat China (sebanyak dua kali), Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Profesor Tamu di Goethe Universitat, Frankfurt, Jerman dan Universiti Sumatera Utara, Indonesia, Profesor Dunia Melayu di ISTAC, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dan Penyandang Kursi Za\u2019ba di Universiti Pendidikan Sultan Idris.\nLantikan kepakaran beliau antaranya: Anggota Panel Penasihat Komunikasi dan Multimedia Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Anggota Panel Penasihat AKEPT Kementerian Pendidikan Tinggi, Ketua Kluster Tamadun dan Sosiobudaya YADIM, Felo Institut Masa Depan Malaysia, Penasihat Sekretariat Pengembangan Bahasa Melayu di Republik Rakyat China, dan Perunding Seberang Laut Kementerian Pendidikan Singapura. Beliau dikurniai Profesor Kehormat Pendidikan Bahasa dan Kebudayaan oleh Beijing Foreign Studies University dan Doktor Falsafah Kehormat daripada World Academy of Arts, California.\nPelibatannya dalam pengembangan bahasa dan persuratan Melayu selama lebih 40 tahun meliputi usaha di dalam negara, serantau dan antarabangsa, termasuk sebagai Setiausaha dan kemudian Pengerusi Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM). Tulisannya meliputi lebih 70 judul buku, kamus dan antologi puisi, lebih 500 rencana dan bab dalam buku, lebih 200 kertas kerja persidangan di Australia, Belanda, Brunei Darussalam, Cambodia, Indonesia, Jepun, Jerman, Korea Selatan, Perancis, Republik Rakyat China, Rusia, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan United Kingdom, selain di Malaysia." "Ada Apa dengan \u201cJom Turun Sungai\u201d?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSambutan Hari Air Sedunia peringkat kebangsaan 2021, berlalu sudah. Namun begitu, tema \u201cJom Turun Sungai\u201d \u00a0amat menarik untuk diperkatakan lebih-lebih lagi apabila warga Selangor dan Lembah Klang mengalami krisis air dan trauma apabila sungai tercemar dan terputus bekalan air.\nRantaian kisah sungai tercemar di Malaysia bukanlah perkara baharu. Apabila isu pencemaran Sungai Kim Kim berlaku pada 7 Mac 2019, lebih daripada 6000 penduduk Pasir Gudang, Johor, terjejas dan 111 buah sekolah diarahkan tutup. Dua tahun berlalu, apa-apa yang berlaku di Sungai Kim Kim ternyata bukan noktah. Pada 8 Mac 2021, dilaporkan terdapat sisa kimia yang dilepaskan ke sungai, begitu juga dengan sisa kumbahan dan sisa klinikal.\nDi negara kita banyak sungai yang nazak, jika tidak diambil tindakan segera nescaya akan menemui ajal sebelum masanya, terutamanya di bandar besar. Di Johor misalnya, terdapat 16 batang sungai yang dilaporkan sebagai nazak yang berada di sekitar Pasir Gudang dan Johor Bahru.\nPersoalannya, apabila sungai tercemar, apakah kita mempunyai alternatif selain daripada sungai sebagai sumber air mentah? Ada! Alternatif tersebut sudah diamalkan di beberapa buah negara seperti China, Denmark, England, Amerika Syarikat, Switzerland dan Bangladesh, iaitu sumber air bawah tanah. Namun begitu, penggunaan sumber air tanah secara tidak terkawal memberikan kesan yang jauh berlebih berbahaya kepada bumi. Kesannya juga sudah dapat dilihat di negara yang mengekstrak air bawah tanah tanpa had seperti kerosakan infrastruktur, percampuran air laut, pengurangan aliran sungai dan tasik, penenggelaman tanah serta kesan buruk kepada ekosistem.\nOleh itu, sumber air bawah tanah bukan pilihan yang tepat untuk menjamin bekalan air negara mencukupi.\u00a0 Memilih sumber air bawah tanah sebagai sumber air menggantikan sungai juga bukan langkah yang bijak. Mahu tidak mahu, untuk mendapatkan sumber air mentah, sungai ialah pembekal utamanya.\nKenapa perlu diekstrak sumber air bawah tanah sedangkan sumber air pada permukaan di Malaysia terlalu banyak? Bagi memastikan bekalan air terawat mencukupi, sumber air di permukaan terutamanya sungai perlu diuruskan dengan cekap kerana 90 peratus sumber air mentah di Malaysia datangnya daripada sungai. Maka itu, amat bertepatanlah tema sambutan Hari Air Sedunia 2021 yang disambut pada 22 Mac setiap tahun, iaitu Menghargai Air (Valuing Water) dihayati bersama-sama. Hal ini dikatakan demikian kerana air sumber kehidupan dan mendapatkan air bersih merupakan hak asasi manusia.\nPada tahap ini, bukan hanya kerajaan yang perlu menjaga sungai, tetapi setiap rakyat di negara ini. Jika tidak keterlaluan, sungai perlu dijaga seperti nyawa kerana sungai sumber kehidupan. Sudah tiba masanya kerajaan lebih tegas dan menguatkuasakan sepenuhnya Seksyen 47 Akta 127 peruntukkan membuat tuntutan kos bagi kerja pembersihan sungai atau alur sungai daripada pihak yang mencemarkan atau menyebabkan pencemaran. Malah ada cadangan bahawa pengarah atau ahli lembaga pengarah syarikat yang terbabit dikenakan perintah khidmat sosial dengan membersihkan dan memperindahkan sungai yang telah dicemari oleh mereka.\nApabila berlaku sungai tercemar yang disebabkan pembuangan sisa perindustrian, penternakan dan akuakultur, kerajaan digesa untuk menggubal akta mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pelaku pencemaran. Kerajaan disalahkan kerana penguatkuasaan undang-undang ada lompangan, mentadbir sumber air tidak betul dan dikatakan tidak melaksanakan tugas dengan cekap.\nSatu perkara yang dilupakan ialah kesedaran kepada golongan sasar, iaitu pemilik kilang, pengusaha ladang penternakan dan ladang pertanian tentang pentingnya menjaga sungai yang masih kurang. Maka itu, terjadilah masalah pencemaran bekalan air mentah dan gangguan bekalan air seperti yang berlaku di Selangor dan Lembah Klang pada tahun lalu. Sepanjang tahun 2020, lapan kali warga Selangor dan Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air disebabkan oleh sembilan kali pencemaran sungai \u2013 bermula Mac hingga Disember 2020.\nMemang sukar apabila bekalan air terganggu, hampir kebanyakan aktiviti tergendala. Namun begitu, apabila difikirkan dari sudut yang lain, ada baiknya bekalan air terputus sementara. Hal itu bermakna pengurusan air negara berada pada tahap yang paling cekap kerana berjaya menghentikan bekalan air mentah tercemar daripada disalurkan kepada pengguna.\nLebih baik bekalan air terputus daripada rakyat terpaksa meminum air yang mengandungi bahan kimia berbahaya, sisa kumbahan dan logam berat. Dengan kecekapan pihak tertentu, pencemaran bekalan air mentah dapat ditangani dengan pantas. Indonesia misalnya, hingga hari ini masih tidak mampu untuk menangani pencemaran sungainya yang disenaraikan sungai paling tercemar di dunia, iaitu Sungai Citarum yang terletak di Jawa Barat.\nDesakan daripada organisasi antarabangsa mengakibatkan kerajaan Indonesia memulakan program lapan tahun pembersihan\u00a0 Sungai Citarum dengan matlamat untuk menjadikan air sungai tersebut selamat diminum menjelang 2025. Tetapi, hingga kini sisa kumbahan manusia, bahan kimia dari kilang dan sampah masih terus dibuang ke sungai.\nApa-apa yang berlaku di Malaysia, menjadikan setiap individu lebih peka bahawa usaha gigih kerajaan tidak pernah putus untuk menjamin sumber air mentah dari sungai selamat digunakan. Walaupun mengalami gangguan bekalan air, namun sungai di Malaysia tidak tersenarai dalam 10 sungai paling tercemar di dunia.\nPengurusan air di Malaysia jauh lebih baik daripada negara jiran, cuma mungkin sudah tiba masanya teknologi takungan air perlu diubah. Memetik pendapat Pengerusi Pasukan Bertindak Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian Akademi Profesor Malaysia merangkap Felo Utama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Datuk Ibrahim Komoo, bahawa teknologi takungan air yang diamalkan sekarang sudah ketinggalan dan tidak sesuai dengan pembangunan pesat di sepanjang sungai pada hari ini yang menjadi punca pencemaran sungai. Sumber air mentah akan mudah tercemar dengan teknologi takungan air kerana takungan air berada di hulu sungai mengalir berpuluh kilometer di sepanjang sungai sebelum disedut di loji pembersihan yang terletak di hilir sungai. Teknologi terbaik dan selamat adalah dengan mengalirkan air terus ke dalam paip yang menghubungkan takungan ke loji pembersihan tanpa melalui aliran sungai yang terletak di kawasan perindustrian." "Antara Hak Pekerja dengan Tanggungjawab Kerja\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTragedi komponen kren jatuh dari tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi \u2013 Hulu Klang (SUKE) merupakan kemuncak kepada keputusan penutupan sementara tapak pembinaan berkenaan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) selepas dua insiden sebelum itu berlaku membabitkan projek berkenaan. Kali ini, insiden tersebut meragut tiga nyawa.\nDua minggu sebelum kejadian ini berlaku, tragedi perancah besi runtuh dan menghempap sebuah van pekerja memulakan episod risiko tapak pembinaan ini. Kejadian akibat kecuaian pemandu sebuah lori yang melanggar perancah besi ini meragut dua nyawa penumpang van berkenaan. Keadaan itu membuka mata banyak pihak, lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di kawasan berdekatan. Sudah sekian lama mereka bersabar dengan keadaan lalu lintas di situ, namun apabila sudah ada nyawa melayang, kesabaran itu perlu bernoktah.\nTerdahulu, projek ini memulakan kisah kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat melalui tragedi dinding parapet jatuh, menghempap kereta seorang wanita di laluan Jalan Lingkaran Tengah Dua (JLT 2) berhampiran Bandar Tun Razak. Ketika kejadian itu berlaku, wanita berkenaan cedera dan kecuaian dikenal pasti sebagai punca kejadian ini.\nCukuplah dengan tiga insiden itu, JKKP mengeluarkan arahan memberhentikan kerja pembinaan dan bertindak menyiasat secara komprehensif pelaksanaan dan amalan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tapak pembinaan berkenaan.\nInsiden yang diketengahkan ini sebenarnya bukan perkara baharu yang berlaku dalam kehidupan insan bergelar pekerja. Boleh dikatakan pada setiap hari, ada saja kejadian yang berlaku. Mengikut data yang dikeluarkan oleh JKKP dalam Statistik Laporan Kemalangan Pekerjaan Mengikut Negeri di Malaysia hingga November 2020 menunjukkan 193 kematian akibat kemalangan di tempat kerja dilaporkan berlaku di seluruh negara dengan Johor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 37 kes, diikuti dengan Selangor (35 kes), Sarawak (25 kes) dan Sabah (20 kes). \u00c2\u00a0Secara umumnya, Selangor mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi dengan jumlah keseluruhan 1532 kes. Daripada jumlah itu, 59 kes melihatkan keadaan hilang upaya kekal, sementara 1443 kes pula melibatkan kecederaan tidak hilang upaya kekal.\nPersoalan siapa yang bersalah atau apa kesalahannya, hanya retorik yang tidak berkesudahan. Apa-apa yang perlu diperkatakan, apakah tindakan kita untuk memastikan risiko kehilangan nyawa, cedera parah, cerdea ringan atau apa-apa jua keadaan mudarat di tempat kerja dapat dikawal? Mari kita ungkap perlahan-lahan bidang keilmuan keselamatan dan kesihatan pekerjaan ini. Sebenarnya, untuk memulakan kajian dalam bidang ini, kita harus bertanya soalan, apakah tanggungjawab yang wujud antara kerja, pekerja dan tempat kerja?\nSering kali kita dengar dan baca, apabila berlaku tragedi kemalangan melibatkan tempat kerja, orang ramai akan menyalahkan kerajaan. Kononnya, pihak kerajaan tidak memastikan keselamatan di tempat kejadian lalu berlaku kemalangan. Benarkah begitu? Siapakah yang meletakkan risiko pada tempat kerja itu, kerajaan atau entiti yang kita sebut sebagai majikan? Siapakah majikan ini? Apakah mereka tidak terikat dengan undang-undang? Wujudkah undang-undang yang membela nasib pekerja dan semua pihak?\nSejak era perindustrian moden pertama mula bertapak di dunia, undang-undang tentang kerja, pekerja dan tempat kerja telah pun wujud. Malah, kajian mengenai perkara ini disebut sebagai Occupational Safety Health (OSH). Latar belakang OSH secara rasmi bermula pada tahun 1473. Mengikut rekod, pada tahun tersebut, Ellenborg, pakar perubatan Jerman menerbitkan sebuah risalah mengenai penyakit yang terjadi akibat pekerjaan melombong emas. Menjelang tahun 1556, usaha itu kemudian diteruskan oleh penyelidik Jerman, Agricola dengan mengenal pasti penyakit yang berlaku kepada pelombong emas.\nPada sekitar tahun 1713, Ramazini yang diangkat sebagai Bapa Kesihatan Pekerjaan, mencadangkan kepada ahli perubatan supaya bertanyakan tentang jenis kerja, bidang kerja dan cara kerja yang dilakukan oleh pesakit semasa mendiagnosis bagi mendapatkan maklumat yang tepat tentang keadaan sesuatu penyakit itu. Hal ini dikatakan demikian kerana kesakitan yang dihidapi itu mungkin berpunca daripada aktiviti pekerjaan yang dilakukan dan tanpa sedar lantas telah menjejaskan kesihatan pesakit.\nRevolusi Industri Eropah bukan sahaja membuka era baharu dunia, tetapi turut melakarkan rekod tidak baik terhadap golongan pekerja dan orang awam. Banyak kecederaan yang berlaku akibat kerja yang dilakukan menyebabkan orang ramai dihimpit antara rela melakukan kerja dengan pasrah menerima kesakitan yang mungkin berlaku pada bila-bila masa, tanpa sebarang pembelaan.\nJusteru, menjelang tahun 1833, sebuah undang-undang industri diperkenalkan. Akta Kilang Inggeris (English Factory Act) 1833, diperkenalkan dalam undang-undang buruh, United Kingdom. Akta ini menggariskan tentang pampasan akibat kemalangan di tempat kerja. Undang-undang ini lebih berbentuk ganti rugi yang ditetapkan untuk menyelesaikan pertikaian antara pekerja dengan pihak pengusaha industri akibat kemalangan yang berlaku. Perkara yang terkandung dalam undang-undang ini merupakan satu bentuk perlindungan yang menyediakan pampasan sebagai ganti rugi kemudaratan terhadap pekerja yang hilang pendapatan untuk satu jangka masa. Meskipun begitu, seseorang pekerja itu terus-menerus berhadapan dengan risiko kecederaan walaupun ada pampasan disediakan melalui undang-undang.\nKesimpulannya, undang-undang ini tidak mengurangkan jumlah kemalangan. Sebaliknya, ancaman kemalangan sentiasa ada di tempat kerja dan pemilik industri tidak terikat dengan sebarang peraturan untuk menyediakan tempat kerja dan cara kerja selamat kepada pekerja. Menyedari keadaan itu, Herbert W. Heinrich membangunkan teori domino pada tahun 1930, lalu terbentuklah kaedah yang dinamakan sebagai Bahavioural Based Safety (BBS) atau Keselamatan Berasaskan Kelakuan (KBK) yang diamalkan secara meluas dalam fasa ketiga revolusi industri menjelang tahun 1980-an di seluruh dunia. Pada awal kajian, Heinrich mendapati kelakuan manusia seperti pekerja perlu dikawal supaya mereka tidak bertindak melakukan sesuatu yang tidak selamat.\nMenurut Heinrich, kemalangan berlaku dalam lima keadaan seperti berikut:\n\u00a0\nMelalui klip ini, faktor kelakuan manusia dan persekitaran tidak selamat merupakan punca jelas sesuatu kemalangan bermula. Keadaan relevan ini cukup untuk membuatkan pemilik industri menyalahkan pekerja setiap kali berlaku kemalangan. Walhal dalam teori ini, kegagalan pihak pengurusan membuat keputusan yang betul dan tepat juga menjadi punca wujud persekitaran yang tidak selamat lalu mengakibatkan berlaku kemalangan. Meskipun begitu, pihak pengurusan industri tetap dengan pendirian menyalahkan pekerja semata-mata tanpa melihat tentang keputusan mereka untuk meningkatkan keselamatan tempat kerja.\nMenjelang tahun 1970, Frank Bird membangunkan kajian Loss Control Theory. Hasil penelitian, Bird mendapati, kawalan pengurusan lemah dengan keputusan pengurusan yang tidak tepat merupakan punca utama yang mendorong kemalangan tempat kerja. Idea kualiti pengurusan berkesan ini sangat popular dalam kalangan kesatuan sekerja kerana tanggungjawab menyediakan loji selamat terletak pada keputusan dan kawalan pengurusan industri. Justeru, teori Bird dilihat sebagai asas untuk membela pekerja bagi menyemak imbang kuasa pengurusan dalam industri.\nMenyedari kepincangan ini sedang berlaku di Great Britain, Parlimen United Kingdom (UK) kemudian menubuhkan Suruhanjaya Keselamatan Diraja (Royal Safety Commission) yang diketuai oleh Lord Robens. Persidangan suruhanjaya ini mengeluarkan laporan yang mendapati bahawa terdapat banyak undang-undang OSH yang berpecah-belah. Semua undang-undang ini telah lapuk dengan liputan terhad (hanya bahaya dan tempat kerja) serta bersifat preskriptif. Keadaan ini yang menyebabkan orang ramai berfikir bahawa keselamatan itu hanya terhadap perkara yang dikuatkuasakan oleh kerajaan walhal isu keselamatan mencakupi pelbagai aspek mengikut keperluan dalam pelbagai keadaan dan masa. Suruhanjaya ini kemudian memperkenalkan kaedah Perundangan Peraturan Sendiri (Self Regulatory Legislation) yang kemudian diterjemahkan menjadi undang-undang yang dikenali sebagai Akta HASAWA 1974 (Health and Safety at Work Act).\nMelalui akta baharu ini, tanggungjawab majikan lebih terarah dan teratur dalam mengurus keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja. Kualiti pengurusan berkesan dapat dicapai dengan memberikan ruang dan peluang kepada kedua-dua pihak iaitu pihak pengurusan tertinggi bersama-sama wakil pekerja bekerjasama membentuk Prosedur Operasi Standard (SOP) selamat bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua orang diutamakan.\nLedakan era perindustrian yang berlaku di United Kingdom dan negara maju turut sama tersebar ke negara Komanwel yang lain termasuk Malaysia. Walaupun pada ketika itu negara kita mempunyai undang-undang industri secara preskriptif, namun tragedi yang berlaku pada tahun 1992 meruntun jiwa rakyat Malaysia. Kisah aneh bersulam duka, bagaikan Sungai Buloh ditimpa bom atom. Sebuah kilang mercun yang beroperasi sejak tahun 1978 bernama Bright Sparkler meledak secara tiba-tiba dengan kesan letupan kuat menggegarkan bumi Sungai Buloh sejauh tujuh kilometer. Mengikut rekod Hospital Kuala Lumpur, seramai 26 orang meninggal dunia dan 103 orang cedera diberikan rawatan melalui operasi sembilan buah ambulans ke tempat kejadian.\nKemudaratan itu jelas menceritakan perihal persepsi keselamatan itu hanya pada perkara yang dikuatkuasakan kerajaan dan bukan sebuah resolusi tanggungjawab untuk memastikan semua orang selamat, sihat dan sejahtera.\nMenyedari keadaan itu, sebuah akta baharu yang berteraskan perundangan peraturan sendiri dirangka dan dibentangkan di Parlimen. Akta 514 yang diberikan nama Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) kemudian diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1994 bagi menguatkan perundangan sedia ada. Melalui akta baharu ini, para majikan dan pemilik perusahaan diberikan kebebasan untuk merangka sendiri pelan dan pengurusan OSH di loji (kilang atau tempat kerja) milik mereka. Mereka diwajibkan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menzahirkan OSH sendiri. Sebuah polisi berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dibentuk sebagai lambang muafakat serta keakuran komitmen pihak pengurusan tertinggi dalam mengutamakan keselamatan sesiapa juga yang berada dalam premis milik mereka.\nPada November 2020, rang undang-undang pindaan akta ini dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan. Bersama-sama pindaan ini, turut dikemukakan juga pemansuhan Akta Kilang dan Jentera 1963. Pindaan terhadap seksyen 19 dan 23 AKKP, meminda hukuman terhadap majikan dinaikkan sejajar dengan keadaan industri. Bacaan kali pertama di Dewan Rakyat menjelaskan, pindaan terhadap seksyen 19 menetapkan, denda RM50 ribu dinaikkan kepada RM500 ribu bagi majikan yang tidak mempunyai polisi keselamatan dan kesihatan pekerjaan sejajar dengan undang-undang AKKP.\nSelain itu, majikan juga boleh disabitkan denda baharu melalui pindaan seksyen 23 yang memperuntukkan hukuman RM20 ribu kepada RM200 ribu, bagi kesalahan melanggar peruntukan seksyen 21 dan 22, iaitu mengenai kewajipan pengilang (majikan) ke atas loji dan bahan bagi kegunaan semasa bekerja. Walaupun pindaan ini hanya sempat dibentangkan bagi bacaan kali pertama dan kedua, sebelum Parlimen digantung selepas perisytiharan darurat penyakit berjangkit oleh Yang di-Pertuan Agong pada Januari 2021. Namun demikian, kelulusan pindaan ini sangat diperlukan oleh semua pihak terutama dalam menggantikan undang-undang preskriptif kepada Perundangan Peraturan Sendiri yang bersifat progresif dan dinamik." "Tolong Diri Sendiri untuk Selamat dan Sihat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkaji punca kurangnya jumlah rakyat yang mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19. Hingga 5 April lalu, sebanyak kira-kira 7.9 juta rakyat telah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau 32.6 peratus daripada populasi di negara ini.\nMenterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata: \u201cSaya tak puas hati, jadi kita ingin tahu adakah kempen kurang dilaksanakan atau orang ramai takut atau tidak tahu bagaimana cara untuk mendaftar sebagai penerima vaksin. Ini kerana angka itu memang tidak memuaskan dan masih pada tahap yang rendah,\u201d katanya yang memberitahu dalam program kebangsaan ini bahawa KKM menyasarkan sebanyak 70 hingga 80 peratus pengguna aplikasi MySejahtera sebagai penerima vaksin COVID-19.\nRakyat di negara ini diminta supaya segera mendaftar dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) demi kesejahteraan diri dan keluarga sekali gus negara mampu mencapai imuniti kelompok.\nMemetik kata-kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin: \u201cApabila banyak rakyat mendapat suntikan vaksin, maka lebih selamat negara kita. Tujuan kerajaan tidak lain tidak, untuk menolong rakyat. Rakyat harus tolong diri sendiri untuk memastikan kehidupan yang selamat dan sihat.\u201d\nSebanyak 514 036 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos. Manakala sebanyak 287 737 individu dalam kumpulan fasa pertama PICK sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin. Ini menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 di negara kini berjumlah 801 773.\nSementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata: \u201cBanyak rakyat masih bersikap tunggu dan lihat. Mereka mahu tunggu dan lihat penerima vaksin awal ada kesan negatif atau tidak, sebelum mereka mendaftar.\u201d Pada hakikatnya, tidak dinafikan memang ada yang mengalami kesan sampingan. Sebanyak 25 770 kes atau 3.5 peratus daripada 706 404 orang penerima vaksin COVID-19 hingga 31 Mac lepas, dikesan mengalami kesan sampingan ringan dan serius. Kira-kira 99.5 peratus daripada kes itu ialah kesan ringan dan selebihnya kes serius yang memerlukan rawatan serta pemerhatian lanjut pakar kesihatan.\nAntara kesan ringan yang dialami penerima vaksin adalah sakit di tempat suntikan, demam, sakit kepala, keletihan, muntah, loya, sakit di sendi dan sengal-sengal di badan. Bagi kesan lebih teruk seperti bengkak di sebahagian anggota badan seperti muka, sesak nafas dan tidak selesa pada bahagian dada. Kesemua mereka yang mengalami kesan serius telah dimasukkan ke dalam wad untuk pemantauan lanjut dan kebanyakan mereka sudah sihat dan dibenarkan untuk keluar dari hospital. Bagaimanapun, tiada kes kematian direkodkan akibat kesan langsung daripada penerimaan vaksin COVID-19.\nKaitan Punca Kematian\nBiarpun begitu, tular berita yang mengaitkan suntikan vaksin sebagai punca kematian. Yang terbaharu, kes anggota polis yang tular kononnya meninggal dunia selepas mengalami komplikasi vaksin COVID-19 akibat pengambilan dos kedua.\u00a0Anggota balai polis Gerik berusia lingkungan 50-an itu, menerima dos pertama pada 13 Mac lepas dan menerima dos kedua pada pukul 9.00 pagi hari Sabtu, 3 April lalu. Bagaimanapun, anggota polis yang mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan kencing manis itu mengadu sakit pada waktu tengah hari dan diberi rawatan awal di Hospital Gerik sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Jantung Hospital Taiping, kerana mengalami sakit jantung (Myocardial Infarct) dan keadaan pesakit kini stabil.\nPada 18 Mac lalu, seorang jururawat yang menerima suntikan vaksin COVID-19 sebelumnya lalu disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung di rumahnya di Bandar Seri Astana, Sungai Petani. Bagaimanapun, kematian wanita berusia 45 tahun yang mempunyai rekod penyakit darah tinggi itu disahkan tidak mempunyai kaitan dengan suntikan vaksin.\nDi Kangar, seorang juruteknologi makmal perubatan Klinik Kesihatan Kangar disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung dan disahkan tidak mempunyai kaitan dengan suntikan vaksin COVID-19 yang diterimanya sebelum itu.\u00a0Berdasarkan rekod perubatan, arwah yang berusia 42 tahun mempunyai sejarah serangan jantung dan pernah menjalani pembedahan angioplasty pada sekitar tahun 2013. Kejadian ini berlaku pada 22 Mac lalu.\nPada 17 Mac lalu pula, Jabatan Kesihatan Pahang menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial berkaitan kematian seorang pegawai bomba yang dikaitkan dengan vaksin COVID-19. Hasil siasatan mendapati pegawai berkenaan meninggal dunia akibat serangan jantung bukan disebabkan suntikan vaksin diterimanya pada 12 Mac lalu, iaitu empat hari sebelum meninggal dunia.\u00a0Berdasarkan rekod, mangsa mempunyai sejarah penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi serta pernah menjalani rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada Julai 2020 dan pakar mencadangkan agar mangsa menjalani pembedahan.\nLantaran itu, KKM menyeru orang ramai supaya tidak menularkan maklumat yang tidak tepat dan tidak sahih. Hal ini bertujuan bagi mengelakkan salah tanggapan masyarakat terhadap vaksin COVID-19. Tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50 ribu atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.\nBerdasarkan statistik daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sebanyak 68 peratus rakyat negara ini mahu menerima suntikan vaksin COVID-19 berbanding 16 peratus yang masih tidak pasti sama ada mahu atau tidak.\u00a0Oleh itu, maklumat mengenai program vaksinasi perlu diberikan dengan tepat supaya rakyat tidak berasa waswas, selain kerjasama semua pihak penting untuk menjayakan program ini.\nMaklumat yang betul akan memberikan keyakinan kepada rakyat bagi menerima suntikan vaksin COVID-19. Sebagai contoh, tanda positif pelaksanaan PICK yang bermula pada 24 Februari lalu ialah kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan petugas barisan hadapan KKM menurun.\nMengapa Tidak Bersedia Divaksin?\nRamai yang lebih memfokuskan isu negatif berkenaan vaksin. Mari ikuti penjelasan daripada Profesor Julie Leask dari Australia. Beliau merupakan seorang saintis sosial yang mengkaji mengapa ada kelompok bersedia dan tidak bersedia untuk diberikan vaksin.\nLeask menyebut, selain golongan antivaksin yang mendapat perhatian media berbanding pengaruh kecil mereka (kadar vaksinasi di Australia bertahan antara 91 peratus hingga 93 peratus sejak tahun 2003), dia melihat mereka yang tidak melakukan vaksinasi sebagai kumpulan yang lebih luas.\nPada hakikatnya, kebanyakan orang berhadapan dengan halangan logistik dari hari ke hari. Mereka mungkin ibu bapa tunggal atau keluarga yang mempunyai ramai anak lantas vaksinasi tidak tersenarai sebagai tugas yang harus dilakukan. Bukan itu sahaja, mereka mempunyai persoalan mengenai vaksinasi namun tidak mempunyai akses mudah kepada profesional kesihatan yang boleh mereka bincangkan.\nBagi Leask, jawapannya adalah dalam mengembangkan sistem yang menangani halangan ini. \u201cJika isu ini ditangani sebaik-baiknya, pasti ada kejayaan,\u201d katanya. \u201cDengan ibu bapa yang sibuk, peringatan mudah atau lawatan ke rumah dapat menyelesaikan masalah.\u00a0Bagi mereka yang mempunyai pertanyaan, profesional kesihatan yang terlatih dapat membantu menjawab persoalan yang tidak jelas dan memberikan beberapa cadangan yang bernas.\u201c\nBerdasarkan kajian Leask, dia menjangkakan majoriti rakyat Australia akan menerima vaksin COVID-19, selagi tidak ada isu keselamatan yang besar atau rintangan lain. Sebilangan orang tidak pasti kerana mereka tidak percaya vaksin baharu itu selamat.\u00a0Sebilangan kecil akan menolaknya secara terang-terangan kerana beberapa sebab. Kumpulan yang lebih kecil akan menggunakan kaedah menulis di media sosial untuk berkeras menentang penggunaannya.\nBagi Leask, tidak perlu untuk membuang banyak masa memfokuskan golongan yang menolak vaksinasi. Adalah lebih bermanfaat memfokuskan usaha ke atas golongan yang disebut \u201cragu-ragu\u201d. Mereka ialah kumpulan minoriti tetapi sekelompok besar orang yang tidak mengambil vaksinasi.\nApa-apa pun, sebagai individu yang waras dan bijak, anda barangkali boleh memikirkan saranan ini. Benar kerajaan telah berjanji bahawa vaksinasi COVID-19 adalah secara sukarela, tidak seperti difteria dan campak \u2012 imunisasi diwajibkan.\u00a0Benar, terpulang kepada anda untuk menentukan apakah anda mahukan perlindungan. Akan tetapi, adakah keputusan untuk tidak menerima vaksin adil kepada orang lain? Adakah rasa takut, keras kepala atau mementingkan diri anda akan membuat golongan yang tidak boleh menerima vaksin berisiko lebih tinggi?\u00a0Selain itu, haruskah orang yang mendedahkan diri kepada risiko terkena penyakit itu dengan sengaja, ketika vaksin tersedia, diperbolehkan menggunakan subsidi dan insurans kerajaan untuk membayar ujian dan rawatan?\nPihak kerajaan mungkin boleh menimbangkannya kerana anda memilih untuk tidak mendapatkan perlindungan yang ditawarkan. Maka anda harus juga bersedia menanggung akibat daripada keputusan \u2012 baik daripada aspek penyakit atau kos rawatan untuk menanganinya." "Ketidaksamaan Vaksin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nWalter Scheidel dalam bukunya The Great Leveller: Violence and the History of Inequality from the Stone Age to the Twenty-First Century memperkenalkan empat orang \u201cPenunggang Kuda\u201d, yang satu daripadanya berkait dengan wabak. Diilhamkan oleh Capital in the Twenty\u2010\u200bFirst Century, Thomas Piketty, Scheidel melakarkan bersama-sama tatasusunan kuantitatif yang besar dan bukti naratif untuk tesis utama beliau bahawa sepanjang sejarah yang direkodkan, pengarasan (leveling) yang sangat berkuasa tidak dapat tidak, akibat daripada kejutan yang sangat berkuasa.\nEmpat jenis kekerasan yang berbeza bergejolak yang mendatarkan ketidaksamaan \u2012 peperangan mobilisasi massa, revolusi transformatif (seperti komunisme), kegagalan atau keruntuhan negara dan wabak dan pandemik yang boleh membawa maut.\u00a0 Menurut beliau, beratus-ratus juta orang lenyap dalam keracak peristiwa itu.\u00a0 Pada masa keadaan menjadi tenang, jurang antara golongan yang memiliki dengan golongan yang tidak memiliki menyusut, adakalanya secara dramatik.\nPengarasan yang\u00a0 berlaku ketika Maut Hitam\u00a0 menyaksikan keruntuhan sistem feudal di Eropah, pembebasan hamba daripada tuan mereka, pembebasan kaum tani daripada tuan tanah, dan akibat kekurangan penduduk, buruh mempunyai kuasa tawar-menawar dalam tuntutan upah.\u00a0 Namun begitu, dikatakan bahawa Maut Hitam itu satu pengecualian, kerana wabak yang berlaku seterusnya, seperti Demam Selesema Sepanyol, tidak menyamaratakan masyarakat; sebaliknya jurang kekayaan semakin melebar.\nPastinya\u00a0 juga, \u201cPenunggang Kuda\u201d keempat yang diperkenalkan oleh Scheidel, tidak kelihatan ketika pandemik COVID-19 melanda dunia. Pandemik yang melumpuhkan sistem kesihatan awam, meruntuhkan pasaran saham dan komoditi, iaitu minyak, dan meranapkan ekonomi, seperti yang berlaku pada tahun 2020, melebarkan ketidaksamaan yang wujud \u2012 agihan pendapatan dan kekayaan.\u00a0 Juga ketidaksamaan kaum atau ras dan gender.\nDipercayai bahawa COVID-19 akan meninggalkan legasi ketidaksamaan yang semakin melebar. Meskipun sejak awal tahun 2021 vaksin mula disediakan oleh beberapa buah negara dengan Malaysia bermula pada akhir Februari, bermakna keselamatan orang ramai akan terjamin, maka kos ekonomi pandemik jangka panjang akan meningkat.\u00a0 Data yang\u00a0 mengalir ke dalam menunjukkan peningkatan dramatik dalam ketidaksamaan yang mungkin berlarutan selama berdekad-dekad.\nBerikutan pengenalan vaksin, maka beberapa istilah dicipta, antaranya \u201cpasport vaksin\u201d, \u201cdiplomasi vaksin\u201d, \u201cnasionalisme vaksin,\u201d \u201cimperialisme vaksin\u201d dan \u201cketidaksamaan vaksin\u201d. Dua yang awal itu, dari segi hubungan antarabangsa, boleh dianggap sebagai \u201ckuasa lembut\u201d. Yang akhir itu berpunca daripada yang ketiga dan yang keempat, merujuk kepada peluang yang tidak sama rata dari segi pemvaksinan orang ramai.\nAkses kepada vaksin dengan cepat menjadi barometer pentakrif ketidaksamaan.\u00a0 Bagaimana kita menangani ketidaksamaan ini akan menentukan pemulihan pandemik. Wujud keselarian yang jelas antara COVID-19 dengan krisis kesihatan global awal.\u00a0 Pada peringkat awal respons sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS), rawatan hanya dapat diperoleh untuk negara kaya manakala negara termiskin terpaksa menunggu selama bertahun-tahun sebelum negara berkenaan dapat menawarkan orang ramai ubat yang menyelamat nyawa yang sama.\nSetiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ant\u00f3nio Guterres, dilaporkan mengkritik tajam akses untuk pemvaksinan COVID-19 di seluruh dunia yang dikatakan tidak sama rata dan tidak adil. Bercakap dalam mesyuarat peringkat tinggi Majlis Keselamatan PBB pada hari Rabu, 17 Februari 2021, Guterres berkata bahawa pada masa apabila 130 buah negara tidak menerima satu dos vaksin pun, hanya 10 buah negara mentadbir 75 peratus semua pemvaksinan COVID-19. Beliau menegaskan bahawa kebanyakan orang di zon konflik tertinggal di belakang dan menggesa negara G-20 mengambil langkah segera untuk meningkatkan pengeluaran dan pengagihan vaksin COVID-19.\nSetakat 18 Februari, COVID-19 telah menjangkiti lebih 109 juta orang di seluruh dunia dan membunuh lebih 2.4 juta orang.\u00a0 Jumlah besar mereka yang terkesan adalah di negara miskin, yang kurang sumber untuk membeli vaksin yang dikeluarkan oleh pembuat di negara maju. Program COVAX Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang mengambil daya usaha untuk menyediakan vaksin untuk negara miskin terpaksa berusaha sedaya upaya untuk menepati\u00a0 tarikh akhirnya untuk memulakan agihan disebabkan kekurangan dana dan sokongan daripada pengeluar.\nDi dunia yang ketidaksamaan masih meluas,\u00a0 tidak memeranjatkan pengenalan atau penggunaan\u00a0 vaksin COVID-19\u00a0 dalam cara yang tidak sama rata.\u00a0 Negara kaya dalam keadaan sangat baik untuk proses inokulasi penduduk mereka, manakala negara termiskin masih pada blok permulaan. Misalnya, Jerman bercita-cita supaya semua warganegaranya memperoleh vaksin pada akhir musim panas. Akan tetapi, negara seperti Mali dan Sudan akan mungkin hanya mencapai liputan signifikan pada tahun 2024.\nPeople\u2019s Vaccine Alliance \u2013 pakatan organisasi, seperti Oxfam, UNAIDS, dan Global Justice Now \u2013 menuduh tiga pengeluar vaksin COVID-19 mencekik bekalan vaksin selamat dan berkesan global menerusi perlindungan harta intelek mereka. Pfizer BioNTech, Moderna dan AstraZeneca hanya merancang untuk mengeluarkan vaksin yang cukup untuk meliputi 1.5 peratus penduduk global pada tahun 2021, yang menurut pakatan itu bahawa vaksin Pfizer BioNTech dan\u00a0 Moderna masih mahal dan tidak menggalakkan untuk kebanyakan negara miskin. Pastinya situasi ini berbeza di negara kaya. Misalnya, Kesatuan Eropah telah pun memperoleh dos yang cukup untuk memvaksin penduduknya sebanyak dua kali, manakala tempahan Kanada boleh memvaksin penduduk remaja dan dewasanya lebih lima kali.\nNegara pendapatan tinggi yang hanya mewakili 16 peratus penduduk dunia cepat-cepat merebut sekurang-kurangnya 70 peratus semua dos vaksin COVID-19 yang dapat diperoleh pada tahun 2021. Negara kaya dilaporkan telah pun mengurus janji untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 4.2 bilion dos vaksin COVID-19, yang\u00a0 menunjukkan bahawa kekurangan bekalan yang sungguh besar di negara termiskin dan negara pendapatan sederhana. Hal ini bermakna negara berkenaan menanggung sengsara virus untuk selama beberapa tahun mendatang.\nKetidaksamaan yang sungguh besar muncul berhubung dengan pemerolehan dan penyampaian vaksin COVID-19 adalah berperingkat-peringkat.\u00a0 Menurut data laman web ourworldindata.com, 52 buah negara memulakan program vaksinasi pada 22 Januari dengan 142 buah negara belum lagi memulakan program mereka.\u00a0 Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kesatuan Eropah terlibat dalam sorokan vaksin yang menunjukkan mereka mendapat jumlah vaksin\u00a0 yang jauh lebih besar berbanding dengan saiz penduduk mereka. Dipercayai bahawa beberapa buah negara yang kelihatan kemungkinan menerima bekalan vaksin secara berlebih-lebihan, seperti Amerika Syarikat dan United, akan mencuba untuk memvaksinkan\u00a0 seberapa banyak orang sebelum musim sejuk tahun 2021.\nUnited Kingdom dilaporkan membeli kira-kira 370 juta dos vaksin daripada pelbagai pembuat, cukup untuk memvaksin 67 juta penduduk kuatnya sebanyak lebih lima kali.\u00a0 Data daripada Duke Global Health Innovation Center menunjukkan bahawa pada 8 Februari, Amerika Syarikat membeli lebih daripada 1.2 bilion dos vaksin, cukup untuk menginolukasi penduduknya sebanyak lebih dua kali.\nAmerika Syarikat, sekali lagi warna kulit dan kekayaan dijadikan penentuan siapakah diberikan keutamaan pemvaksinan. ABC News pada 2 Mac, dengan tajuk \u201cPhiladelphia Doctor Takes Her Push for Health Equity to Next Level: Vaccines\u201d melaporkan bahawa di Philadelphia, menurut data Banci Amerika Syarikat, disebutkan 42 peratus orang kulit hitam akan divaksin, tetapi kota itu melaporkan bahawa hingga hari ini, hanya kira-kira 21.5 peratus suntikan di kota itu diberikan untuk orang kulit hitam.\nTatkala banyak negara negara membangun masih terkial-kial untuk memperoleh bekalan vaksin, Amerika Syarikat bergerak begitu pantas untuk memperoleh vaksin yang cukup. Pada 3 Mac, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden mengumumkan\u00a0 perkongsian utama antara syarikat farmasi gergasi Merck & Co. dan\u00a0 Johnson & Johnson untuk menolong vaksin J&J yang baru dibenarkan dan mengubah garis masa, akan cukup untuk setiap orang dewasa Amerika pada akhir Mei.\u00a0 Seperti yang dilaporkan oleh ABC News, bertajuk \u201cBiden Says There Will be Enough Vaccine for American Adults by End of May\u201d, Biden berkata: \u201cKira-kira tiga minggu lalu, kita mampu bercakap bahawa kita akan cukup bekalan vaksin untuk orang dewasa pada akhir Julai.\u201d\nAndrea Chloe Wong dalam makalahnya, \u201cCommentary: Countries Hoarding Vaccines Will Only Prolong the COVID-19 Crisis\u201d \u00a0memberitahu bahawa sejak Januari, majoriti lebih daripada 80 juta vaksin COVID-19 dapat diperoleh di seluruh dunia hanya dibolot oleh sebilangan negara pendapatan tinggi dan pendapatan sederhana, seperti Amerika Syarikat, China, Israel, United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu. Sebagai akibatnya, negara pendapatan tinggi dengan hanya 16 peratus penduduk dunia kini memegang 60 peratus dos vaksin.\u00a0 Sorokan sedemikian menyebabkan negara lain di dunia terpaksa berasak-asak untuk mendapatkan bekalan, manakala ekonomi pendapatan rendah tidak mempunyai pilihan, kecuali menunggu kemungkinan selama bertahun-tahun untuk mampu menginokulasikan sejumlah besar penduduk mereka.\nWong menegaskan, \u201cnegara kaya di barisan hadapan\u201d. Ini mencerminkan kitaran malang yang berulang-ulang sendirinya ketika pandemik global.\u00a0 Negara kaya yang mula-mula\u00a0 mendapat faedah daripada teknologi kesihatan baharu, manakala negara miskin perlu menunggu selama bertahun-tahun atau berdekad-dekad untuk teknologi itu sampai kepada mereka.\u00a0 Dianggarkan bahawa kira-kira 85 buah negara tidak akan mempunyai akses meluas untuk vaksin hingga tahun 2023, manakala pengimunan massa mungkin tidak berlaku hingga tahun 2024. Perkara ini betul terutamanya untuk negara di Asia Tenggara.\u00a0 Sebagai negara pendapatan tinggi dengan jumlah penduduk kecil, Singapura akan berkemungkinan mencapai pemvaksinan meluas pada akhir tahun 2021. Sementara itu, Vietnam, Brunei, Thailand dan Malaysia dijangkakan mengikuti langkah itu pada tahun 2022, kemudian Indonesia dan Filipina pada tahun 2023. Walau bagaimanapun, negara miskin, seperti Kemboja, Laos dan Myanmar mungkin tidak\u00a0 mampu mencapai pemvaksinan meluas dalam masa lima tahun akan datang.\nKetidaksamaan vaksin juga berlaku dalam sesebuah negara dan bukannya terbatas antara\u00a0 negara\u00a0 kaya\u00a0 dengan negara miskin semata-mata.\u00a0 Misalnya, Israel enggan menyediakan vaksin untuk orang Palestin di wilayah yang didudukinya di Tebing Barat dan Lembah Gaza. Kementerian Kesihatan Israel mula mengagihkan vaksin COVID-19 pada 23 Disember 2020. Walau bagaimanapun, setakat awal Januari, pelaksanaan rancangan vaksin ini hanya warganegara Israel, termasuk peneroka Israel yang tinggal di Tebing Barat, dan pemastautin\u00a0 Palestin di Baitulmuqaddis (Jerusalem).\u00a0 Kementerian itu tidak memasukkan hampir lima juta orang Palestin yang tinggal di Tebing Barat dan Lembah Gaza yang diduduki oleh tentera Israel. Tindakan Israel itu memang tidak memeranjatkan kerana negara itu sentiasa menzalimi penduduk Palestin, tetapi yang aneh, negara itu\u00a0 begitu bersemangat membekalkan vaksin COVID-19\u00a0 kepada\u00a0 sesetengah negara asing.\nOleh sebab vaksin diterima secara berperingkat-peringkat, dan oleh itu, tidak cukup untuk memvaksin setiap penduduk pada sesuatu masa, maka segolongan penduduk perlu diberikan keutamaan sambil mengorbankan golongan penduduk yang lain. Di samping itu,\u00a0 pastinya wujud ketidaksamaan vaksin dari segi wilayah atau kawasan, iaitu\u00a0 antara bandar dengan desa dan pedalaman.\nPada tahun 2020, cabaran yang dihadapi oleh setiap negara adalah bagaimana membendung penularan COVID-19 melalui kawalan keluar masuk, atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial,\u00a0 dan penutupan sempadan negara sementara menunggu vaksin diproses dan dihasilkan.\u00a0 Pada tahun 2021, vaksin dapat diperoleh, tetapi juga perlu menghadapi cabaran \u2012\u00a0 memastikan vaksin disuntik untuk setiap orang di dunia ini, iaitu dunia kaya dan dunia miskin kedua-duanya.\nSatu perkara jelas, vaksin akan sampai, tetapi vaksin akan diagihkan secara tidak sama rata dalam negara dan antara negara, semata-mata kerana skala masalah pengagihan. Dalam tahun mendatang, banyak orang akan berusaha sedaya-upaya untuk memahami mengapa seseorang yang disayangi mati akibat penyakit kerana adanya vaksin." "Jangan Kasari Kanak-kanak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTersentap emosi melihat anak kecil dicampak dan dihentak ke lantai dengan rengusan daripada seorang guru. Allahuakbar! Anak itu bukan anak patung yang boleh dicampak ke lantai begitu sahaja. Bagaimanakah kalau kanak-kanak itu anak kita? Klip video berdurasi 10 saat yang tersebar di media sosial baru-baru ini menjadi amarah banyak pihak apabila tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan kepada guru telah dikhianati begitu sahaja.\nPasti ramai yang menuding jari kepada guru terbabit. Tidak dapat tidak, pasti kesalahan itu terpikul di bahunya. Malah guru berkenaan juga telah dipanggil oleh pihak polis untuk siasatan dan dilepaskan dengan jaminan. Untuk itu, marilah kita sama-sama menilai apakah inti pati yang boleh diambil daripada ketidaksabaran dalam mendidik anak kecil.\nMenerusi kes ini, banyak peguam yang tampil memberikan cadangan kepada ibu bapa mangsa dera atau buli supaya segera melaporkannya kepada pihak berwajib. Hal ini kerana kelakuan tidak bermoral dan berakhlak itu boleh didakwa di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dalam Bab 3 Seksyen 31 (1) yang jelas menyatakan bahawa kesalahan berhubung dengan kesihatan dan kebajikan mereka kerana membiarkan kanak-kanak, menganiaya mereka, mengabaikan dan membuang mereka dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi. Natijahnya, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM20 ribu atau dipenjarakan tidak lebih daripada 10 tahun atau kedua-duanya.\nItulah padahnya jika tidak berfikir terlebih dahulu sebelum bertindak. Namun begitu, jika diteliti pasti ramai tertanya-tanya apakah sebenarnya yang telah berlaku? Apakah guru berkenaan menghidapi masalah mental? Atau mungkin juga kehabisan tenaga (burnout)? Atau mungkin juga memang itulah sikap guru tersebut?\nSekiranya guru tersebut tidak mempunyai masalah mental, mungkin juga guru tersebut mengalami burnout. Menurut International Journal of Education, Psychology and Counseling yang bertajuk \u201cBurnout dalam Kalangan Guru Pendidikan Awal Kanak-kanak: Sebab dan implikasi\u201d menjelaskan bahawa sindrom burnout berlaku apabila seseorang mengalami keletihan dan berasa terlalu penat semasa melaksanakan kerja atau tugasan yang dilakukan sehingga memerlukan rehat secukupnya.\nJurnal hasil kajian Laila Ajang dan Kamariah Abu Bakar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu turut menyebut bahawa burnout merupakan sindrom psikologi, iaitu keletihan emosi, depersonalisasi dan pencapaian peribadi. Terdapat tiga faktor utama yang menjadi penyebab berlakunya sindrom ini. Faktor pertama, iaitu berkait rapat dengan imej diri, pengalaman dan kekangan masa. Selain itu, kekurangan pengalaman juga boleh menyumbang kepada tahap burnout dalam kalangan guru pendidikan awal kanak-kanak. Dalam hal ini, guru yang masih baru dalam bidang pendidikan menunjukkan tahap burnout yang lebih tinggi berbanding dengan guru yang sudah lama mengajar.\nFaktor kedua ialah persekitaran kerja. Hal ini melibatkan interaksi pelajar bersama-sama guru ketika sesi pembelajaran dan persekolahan. Tingkah laku pelajar yang pelbagai ragam sehingga sukar dikawal, gaji yang rendah, berasa tidak dihormati oleh masyarakat, kurang mendapat peluang kerjaya yang lebih baik dan terdapat arahan yang tidak munasabah daripada majikan.\nFaktor ketiga pula ialah perhubungan antara guru dengan ibu bapa murid. Pada peringkat pendidikan awal kanak-kanak, guru sering berhadapan dengan tekanan daripada ibu bapa yang mempunyai harapan yang terlalu tinggi terhadap kualiti pendidikan anak mereka. Ibu bapa juga sering berusaha untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang aktiviti anak mereka ketika berada di sekolah. Hal ini menyebabkan tekanan psikologi guru menjadi lebih tinggi dan secara tidak langsung meningkatkan burnout dalam kalangan guru.\nGejala ini mengakibatkan tekanan mental yang perlu diberikan perhatian serta mendapat perawatan dengan segera. Hal ini dikatakan demikian kerana impak negatif daripada gejala burnout menyebabkan guru tidak fokus untuk melaksanakan tanggungjawabnya yang pada akhirnya memberikan kesan kepada emosi dan fizikal guru.\nKesan daripada tekanan kerja yang tidak terkawal ini menyebabkan guru kehilangan semangat untuk mengajar di sekolah. Emosi yang tidak stabil ini ditambah pula dengan keadaan keletihan fizikal yang mengurangkan semangat guru untuk mengajar, menunjukkan sikap negatif, pasif dan bertambah buruk apabila guru mula tidak mengambil peduli tentang murid mereka.\nPersoalannya, sejauh manakah guru dapat menyerap tekanan ini dan mengawal emosi dalam melaksanakan tanggungjawab mereka? Benar, setiap daripada kita tidak pernah terlepas daripada tekanan namun guru perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk mendidik murid dan mengetepikan segala permasalahan yang dihadapi.\nMaka itu, amat penting untuk setiap golongan pendidik kembali bermuhasabah dan menerapkan ajaran agama dalam menjalankan tugas. Andai kata mereka tidak mempunyai minat untuk bergaul dengan anak kecil, memujuk, panas baran dan sebagainya, elakkanlah menjadi guru. Banyak lagi pekerjaan lain yang tidak perlu untuk berkomunikasi dan interaksi dengan anak kecil.\nJika kerjaya guru menjadi pilihan, ambillah contoh bagaimana Rasulullah SAW dalam melayan kerenah anak kecil. Dalam satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim, pada suatu hari Baginda mencium cucunya Hassan dan perbuatan itu dilihat oleh seorang sahabat bernama al-Aqra bin Habis at-Tamimi.\nDia berkata, \u201cSesungguhnya aku memiliki 10 orang anak, namun aku tidak pernah mencium mereka sekalipun.\u201d Rasulullah SAW lantas memandangnya dan bersabda, \u201cBarang siapa tidak mengasihi, maka ia tidak akan dikasihi.\u201d" "Hubungan Malaysia-Arab Saudi Kembali\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSekembalinya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dari Arab Saudi baru-baru ini dengan membawa pulang tiga berita gembira mendapat pelbagai reaksi daripada rakyat negara ini. Pertemuan dengan Yang Maha Mulia Raja Salman Abdulaziz Al-Saud itu merangkumi spektrum kerjasama yang luas termasuk perdagangan, pelaburan, hal ehwal Islam, pendidikan dan hubungan sesama manusia.\nDifahamkan kerajaan kedua-dua belah pihak telah bersepakat mempersetujui penubuhan Majlis Penyelarasan Arab Saudi-Malaysia selain perbincangan berkaitan dengan jemaah haji pada musim penularan COVID-19 dan yang terakhirnya ialah memorandum persefahaman (MoU) berhubung dengan hal ehwal Islam. Malah, kerajaan Arab Saudi juga turut bersetuju menambah lagi 10 ribu kuota haji kepada rakyat negara ini.\nKetiga-tiga berita itu dianggap kejayaan besar oleh banyak pihak ekoran pelbagai insiden yang berlaku sehingga mengakibatkan hubungan diplomatik kedua-dua negara sebelum ini sedikit goyah. Hal yang demikian berikutan pertukaran kerajaan selepas Barisan Nasional kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018. Namun begitu, usaha Perdana Menteri bersama-sama Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam memulihkan kembali hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama patut diberikan pujian.\nBeberapa kejadian yang berlaku sebelum ini dalam era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) sedikit banyak menggoyahkan hubungan antara kedua-dua kerajaan. Antaranya penutupan King Salman Centre for International Peace (KSCIP) di Putrajaya. Penutupan ini dibuat secara mengejut tanpa ada sebarang perbincangan malah tanpa pemakluman rasmi daripada Malaysia kepada Arab Saudi. Difahamkan mereka hanya mengetahui perkara ini menerusi laporan media, sedangkan KSCIP ialah idea asal Raja Salman ketika lawatan rasmi ke negara kita pada tahun 2017. KSCIP merupakan simbol kepercayaan dan sebagai tanda hubungan yang terjalin antara kedua-dua buah negara berada pada tahap yang terbaik.\nPada ketika ini, momentum dalam kalangan pemimpin terutama dalam konteks hubungan negara kita dengan Saudi tampak lebih positif. Pelbagai usaha yang telah dicapai bersama. Pemulihan ini penting bukan hanya kepada negara kita, tetapi juga kepada ummah secara keseluruhannya memandangkan kedua-dua buah negara merupakan antara kunci utama dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).\nAntara usaha membawa hubungan ke arah lebih strategik adalah menerusi penubuhan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi (High Level Strategic Committee atau HLSC) di peringkat Menteri Luar Negeri sebagai platform menyeluruh hubungan dua hala. Kerajaan turut memacu kerjasama dalam bidang sains dan teknologi yang menyumbang kepada kepentingan strategik dan ekonomi kedua-dua buah negara. Hal ini termasuklah cadangan penubuhan Pusat Inovasi Teknikal Malaysia-Arab Saudi yang akan menjadi platform bagi menggalakkan kolaborasi antara kedua-dua negara dalam kerjasama pembangunan bandar pintar, kecerdasan buatan (AI) dan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).\nSelain itu, Perjanjian Inisiatif Perkhidmatan Jalan Makkah (Mecca Road Service Initiative) turut dimeterai secara rasminya oleh Hishammuddin dan rakan sejawatannya, Putera Faisal Farhan Al-Saud. Lebih membanggakan, Malaysia ialah negara terawal yang dipilih oleh Arab Saudi untuk menyertai inisiatif itu selain Indonesia.\nBegitu juga dengan penubuhan Majlis Koordinasi yang dipimpin oleh Menteri Luar Negeri kedua-dua buah negara yang dibina berdasarkan hubungan agama, sejarah, sosial dan budaya antara Malaysia dengan Arab Saudi termasuk keanggotaan kedua-duanya dalam OIC. Perkara ini secara jelas dan terang bukan hanya memberikan kebaikan kepada negara masing-masing, tetapi turut memberikan manfaat kepada kebanyakan negara Islam dan ummah.\nPerkara yang disebutkan di atas secara tidak langsung menonjolkan kebijaksanaan Menteri Luar kita dalam usaha menangani isu antarabangsa. Ketokohan dan kewibawaan beliau terserlah dalam isu hubungan diplomatik ini. Selain dalam hal ekonomi dan inovasi, wakil kepimpinan tertinggi negara kita juga sempat memberikan tumpuan kepada aspek perdagangan. Perbincangan bertumpu kepada meneroka pasaran baharu bagi eksport minyak kelapa sawit. Bagi tujuan ke hadapan, Perdana Menteri mencadangkan industri di Malaysia melihat kemungkinan pembinaan kilang untuk memproses minyak sawit di Arab Saudi bagi tujuan pembuatan makanan.\nMalah, kesediaan Raja Salman menerima kunjungan itu juga sudah menunjukkan tahap hubungan dua hala Malaysia-Arab Saudi yang amat baik dan membanggakan. Hishammuddin menjelaskan bahawa kesediaan Arab Saudi menerima kunjungan pemimpin negara dalam keadaan pandemik semasa juga adalah sesuatu yang luar biasa yang menunjukkan keikhlasan kedua-dua buah negara untuk memperkasakan hubungan dua hala yang sedia terjalin.\n\u201cLawatan ini cukup mencabar kerana kita terpaksa melakukannya dalam landskap COVID-19 dengan prosedur operasi standard (SOP) yang begitu ketat dan setahu saya bagi pihak Arab Saudi pula, ini kali pertama seorang ketua negara diterima untuk lakukan lawatan rasmi,\u201c katanya." "Dua Kategori Anugerah Buku Malaysia 2020 Milik DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memperoleh dua kemenangan dalam Majlis Anugerah Buku Malaysia 2020 yang disiarkan pada hari ini menerusi saluran YouTube MABOPA TV, bermula pada jam 12.00 tengah hari.\nBuku yang berkonsepkan sejarah dan kepimpinan khususnya di Melaka, Kebijaksanaan Pemerintahan Sultan Melaka 1446 \u2212 1488, karya Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob memenangi kategori Anugerah Buku Pemimpin Negara Semasa. Selain itu, Ke Mana MIAU Pergi?, cerita oleh Yusof Gajah dan ilustrasi oleh Sidi Hamdan Amirudin memenangi kategori Anugerah Buku Kanak-kanak.\nMajlis Anugerah Buku Malaysia 2020 yang dirasmikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, merupakan anugerah anjuran Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) yang buat pertama kali diadakan bersempena dengan Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC) 2020. Sebanyak 14 kategori dipertandingkan dalam anugerah ini yang bertujuan untuk memberikan pengiktirafan kepada pemain industri penerbitan Malaysia, baik penerbitan bercetak mahupun digital.\nIkuti siaran Majlis Anugerah Buku Malaysia 2020 melalui pautan: https://www.youtube.com/watch?v=kvcV3fzkQSY&ab_channel=MabopaTV" "Sesi Pembelajaran Secara PdPR Selepas Raya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi hantaran di laman Facebook menterinya, Datuk Dr. Radzi Jidin, mengumumkan perubahan pada takwim persekolahan bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.\n\u00a0\nBerikut merupakan petikan hantaran Facebook beliau:\n\u201cPetang tadi saya berkesempatan bertemu pengamal media bagi menjelaskan beberapa perkara berkaitan KPM.\nAntaranya adalah mengenai cuti sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri serta sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) selepas cuti perayaan nanti.\nSeperti yang kita sedia maklum, cuti untuk Hari Raya Aidilfitri akan bermula pada hari Selasa, 11 Mei 2021. KPM telah membuat ketetapan bahawa sekolah bagi Kumpulan A akan mengambil cuti peristiwa atau cuti ganti pada 9 & 10 Mei 2021\u00a0manakala sekolah dalam Kumpulan B akan mengambil cuti tersebut pada 10 Mei 2021.\nOleh yang demikian, sekolah Kumpulan A akan bercuti mulai 7 Mei hingga 15 Mei 2021 manakala sekolah Kumpulan B pada 8 Mei hingga 16 Mei 2021.\nDalam konteks pelaksanaan PdP pula, KPM mengambil pendekatan untuk melaksanakan PdPR selama dua minggu selepas cuti perayaan.\nIni adalah bagi mengurangkan risiko jangkitan yang mungkin berlaku di luar sekolah semasa musim perayaan dan bakal meningkatkan jangkitan di institusi pendidikan di bawah KPM.\u201c" "UPSR Dimansuhkan, PT3 Dibatalkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui menterinya, Datuk Dr. Radzi Jidin, pada hari ini mengumumkan pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai tahun 2021, manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini dibatalkan.\nKeputusan pemansuhan UPSR dilaksanakan setelah memperoleh pendapat, pandangan dan input melalui pelbagai proses libat urus dalam pelbagai sesi yang disertai oleh lebih daripada 1700 orang peserta daripada kalangan guru, ibu bapa, murid, serta persatuan di seluruh negara.\n\u201cBerikutan pemansuhan UPSR, pihak KPM akan memperkasakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di samping Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi murid yang berhasrat memasuki sekolah berasrama penuh dan sebagainya,\u201d jelas Radzi. Tambah beliau, sejajar dengan pemansuhan UPSR, Pertaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) juga dimansuhkan.\nRadzi berkata, berkenaan dengan pembatalan PT3 pula, keputusan tersebut dibuat dengan mempertimbangkan masalah kekangan masa bagi para pelajar untuk membuat persiapan, khususnya pembelajaran bersemuka bersama guru di sekolah. Jelas beliau, disebabkan situasi penularan COVID-19 masih belum dapat dipulihkan sepenuhnya, maka penilaian bagi pelajar tingkatan tiga pada tahun ini akan dilaksanakan melalui PKSK dan PBD." "Pembangunan dan Penjenamaan Bahasa Melayu untuk Pembinaan Negara Bangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cPada tahun 2010, kerajaan Malaysia telah menubuhkan jawatankuasa pelaksanaan bahasa kebangsaan dalam sektor utama negara, termasuklah sektor perkhidmatan awam. Penubuhan jawatankuasa tersebut berperanan dalam menentukan pelaksanaan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan masing-masing. Dalam perkhidmatan awam khususnya, jawatankuasa kecil pelaksanaan bahasa kebangsaan berperanan untuk menyemarakkan penggunaan bahasa kebangsaan, merancang dan melaksanakan program kebahasaan, dan melaporkan tahap pencapaian penggunaan bahasa kebangsaan kepada jawatankuasa induk. Sekiranya terdapat permasalahan, pelaksana boleh melaporkan kepada jawatankuasa induk tersebut.\u201d Demikian menurut YBhg. Datuk Dr. Alauddin Sidal sewaktu membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk \u201cPemartabatan Bahasa Melayu Menerusi Wahana Latihan Penjawat Awam: Peranan dan Tanggungjawab Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada Sidang 9, Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu.\nTambah beliau, \u201cINTAN sebagai sebuah agensi kerajaan berperanan untuk membangunkan modal insan yang kompeten melalui pembelajaran berkualiti. Maka itu, INTAN dan JPA bertanggungjawab untuk membantu kementerian dan agensi kerajaan dalam merancang dan melaksanakan program kebahasaan yang meliputi empat perkara.\u201d\nEmpat perkara tersebut meliputi peluasan penggunaan bahasa Melayu dalam komunikasi tidak ketara yang merujuk semangat yang mendasari bahasa sektor awam, sama ada pelaksanaannya dilakukan secara menyeluruh dan penggunaan bahasa yang betul. Yang seterusnya ialah pembangunan duta bahasa di jabatan melalui pelantikan Munsyi Muda Bahasa dalam kalangan penjawat awam. Mereka ini diwajibkan mengikuti kursus bahasa Melayu dan perlu melepasi tahap penilaian kefahaman bahasa Melayu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Yang ketiga ialah latihan penataran bahasa dan kursus penulisan dokumen rasmi. INTAN melaksanakan latihan dan kursus penulisan dokumen rasmi bertujuan untuk meningkatkan penggunaan format yang ditetapkan untuk penulisan dokumen rasmi dalam kalangan penjawat awam. Yang terakhir ialah pembudayaan bahasa Melayu melalui keterampilan yang bersifat halus dan konkrit.\nYBhg. Datuk Dr. Alauddin Sidal juga berkongsi tentang pelaksanaan Pertandingan Pidato Piala Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam oleh INTAN sejak tahun 2015. Pertandingan ini diadakan bertujuan untuk memberikan peluang kepada penjawat awam untuk mengartikulasikan pendapat mereka bertepatan dengan peranan penjawat awam sebagai ejen penyebar maklumat dan penyebar dasar kerajaan.\nSidang ini diteruskan dengan pembentangan oleh YBhg. Profesor Dato\u2019 Dr. Ahmad Murad Merican yang mengutarakan pendapatnya bahawa bahasa Melayu harus mengalami proses penjenamaan semula. Sepanjang tempoh negara Malaysia mencapai kemerdekaan, iaitu dalam tempoh 65 tahun ini, bahasa Melayu tidak pernah sekalipun dijenamakan semula. \u201cSimposium ini menjadi salah satu strategi untuk menjenamakan semula bahasa Melayu,\u201d kata YBhg. Profesor Dato\u2019 Dr. Ahmad Murad Merican pada awal ucapannya.\nMenurut YBhg. Profesor Dato\u2019 Dr. Ahmad Murad Merican lagi, persekitaran alam bina perlu diubah dari segi bentuk, sikap dan kelakuan masyarakat di sesebuah negara. Selain itu, beliau mencadangkan satu tribunal bahasa kebangsaan diwujudkan. Contohnya di negara luar seperti Filipina dan Jepun telah diwujudkan tribunal sejarah untuk menimbang tara dan menyelesaikan masalah pendidikan sejarah.\nDi sini kita menghadapi pertelingkahan Melayu selama 65 tahun, namun tidak ada tribunal yang menjadi badan untuk menyelesaikan pertelingkahan tersebut. Jadi, di manakah kita mahu membuat aduan berkaitan dengan masalah penggunaan bahasa Melayu, termasuklah masalah budaya dan identiti Melayu? Tribunal ini boleh diletakkan di bawah penyemakan semula kuasa DBP. DBP perlu diberikan kuasa untuk mentadbir tribunal, namun yang penting tribunal ini mempunyai kuasa untuk mendenda kesalahan yang dilakukan secara langsung ataupun tidak langsung berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu.\nBeliau turut menyebut tentang tindakan yang boleh dilakukan dalam konteks penjenamaan semula. \u201cPenjenamaan semula bermaksud menceritakan semula atau membuat satu naratif yang lain kerana sejak tahun 1957 atau sebelum itu, terdapat penurunan imej kebangsaan negara bangsa dan orang Melayu. Apabila imej orang Melayu rendah, maka tahap penggunaan bahasanya juga rendah. Bagi mengatasi masalah penurunan imej ini, kita harus mempopularkan tradisi lisan melalui media massa, menghasilkan kartun dalam bahasa Melayu, menceritakan semula sejarah Melayu, dan menyebarkan pautan laman web berkaitan dengan esei atau artikel yang terbaik dalam bahasa Melayu.\u201d\nUsaha lain yang boleh dilakukan adalah dengan mengadakan kempen untuk mempromosikan bahan berkaitan dengan kesusasteraan Melayu dan menjenamakan semula majalah Dewan Sastera melalui pelbagai pelantar digital. Pemberian Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu juga harus diangkat statusnya lebih tinggi daripada anugerah akademik negara yang sedia ada dan penganugerahannya disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong.\nPeranan media dalam memartabatkan penggunaan bahasa Melayu juga harus diperkemas, termasuklah media secara dalam talian. Manfaatkan sepenuhnya penggunaan papan iklan dalam mempromosikan penggunaan bahasa Melayu yang betul. Pada papan iklan itu juga dipaparkan rangkap pantun, peribahasa, dan pepatah dalam bahasa Melayu. Yang paling penting, papan iklan itu diletakkan di sepanjang lebuh raya, persimpangan jalan, dan ruang awam. Secara tidak langsung, penggunaan bahasa Melayu yang indah dan menarik akan dibaca oleh sesiapa sahaja yang melihat papan iklan tersebut.\nYBhg. Profesor Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah selaku pembentang yang seterusnya dalam Sidang 9 berkata, \u201cApabila bercakap tentang bahasa Melayu dan pembinaan negara, hal itu memperlihatkan seolah-olah kita gagal untuk membina sebuah negara yang berteraskan perpaduan.\u201d Beliau berkata demikian kerana asas dalam pembinaan negara meliputi empat perkara penting, iaitu jati diri yang merupakan agenda besar negara, termasuklah kedudukan bahasa Melayu. Selagi bahasa Melayu tidak dijadikan syarat untuk menjadi warganegara, kita akan gagal memartabatkan bahasa Melayu. Maka itu, sudah sampai masanya kedudukan bahasa Melayu selaku bahasa negara dan agenda negara diangkat ke tahap yang paling tinggi dalam proses pembinaan negara. Yang penting, jadikan bahasa Melayu sebagai syarat untuk mendapatkan kewarganegaraan.\nAspek yang seterusnya ialah kedudukan bahasa Melayu harus diperkasakan bermula daripada pendidikan asas lagi. Pendidikan berasaskan kaum hendaklah dikaji semula secara serius kerana bentuk pendidikan itu kurang membantu dalam pembinaan negara. Mata pelajaran asas seperti Sejarah mesti diajar dalam bahasa Melayu tanpa kompromi di sekolah vernakular.\n\u201cJangan tunduk pada tekanan badan bukan kerajaan yang bersifat rasis. Jangan memperjudikan agenda negara yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Buat kajian secara mendalam tentang bilangan rakyat Malaysia yang tidak mampu berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Dalam pembinaan negara khususnya dalam usaha mendaulatkan bahasa Melayu, rakyat harus didik dengan kuasa.\u201d Demikian ucap YBhg. Profesor Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah dalam menyampaikan pesanannya bersempena dengan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu, yang berlangsung pada 22 Mei 2022 hingga 24 Mei 2022 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka." "Pelajar IPT Dibenarkan Pulang Sempena Aidilfitri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bagi semua negeri kecuali\u00a0Sarawak diberikan kebenaran untuk pulang ke kediaman masing-masing sempena cuti Hari Raya Aidilfitri. Hal yang demikian diputuskan dalam Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan pada 28 April 2021, selaras dengan kelonggaran yang diberikan oleh MKN sebelum ini kepada sektor pendidikan. Pun begitu, para pelajar turut diberikan pilihan sama ada pulang ke rumah masing-masing atau kekal berada di kampus sempena cuti perayaan tersebut.\nBagi memastikan pergerakan pelajar berlaku dalam keadaan terkawal, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menetapkan beberapa mekanisme kawalan yang memerlukan pergerakan pelajar di setiap IPT dilaksanakan secara berfasa. Tarikh yang ditetapkan bagi pergerakan pulang ke rumah masing-masing adalah pada 7 \u2013 12 Mei 2021, manakala pergerakan pelajar kembali ke kampus adalah pada 15 \u2013 20 Mei 2021. Dalam pada itu, pihak IPT akan menyediakan surat pelepasan perjalanan rentas negeri atau daerah dan menyelaras tarikh pergerakan pulang ke rumah dan kembali ke kampus bagi setiap pelajar.\nPelajar hanya dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing dengan menggunakan tiga kaedah, iaitu dengan menggunakan kenderaan sendiri, dijemput oleh ibu bapa atau penjaga, atau menaiki bas yang diselaraskan oleh IPT. Pergerakan melalui kenderaan awam tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan.\nPara pelajar dan ibu bapa boleh merujuk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Pergerakan Pelajar IPT Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri dan Dokumen Soalan Lazim yang telah disediakan melalui portal rasmi KPT di www.mohe.gov.my. Untuk pertanyaan lanjut, pelajar boleh menghubungi pegawai penyelaras di IPT masing-masing atau Bilik Gerakan KPT di talian 03-8870 6777/6949/6623/6628." "YPM dan USAS Menandatangani Nota Persefahaman\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNaib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Tan Sri Profesor. Dr. Nordin Kardi, dan Pengerusi Eksekutif\u00a0 Yayasan Pelajaran Mara (YPM), Dato\u2019 Dr. Mohd Nizar Sudin, menyaksikan Majlis Menandatangani Nota Persefahaman (NoU) antara Ketua Pegawai Eksekutif YPM yang diwakili oleh Mohd Amran Mohd Ariffin dengan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hal Ehwal Pelajar USAS yang diwakili oleh Profesor Dato\u2019 Dr. Wan Sabri Wan Yusuf.\nMajlis yang berlangsung pada 3 Mei lalu turut menyaksikan upacara penyerahan cek bernilai RM200 ribu tajaan Maybank Islamic Berhad kepada USAS untuk menjayakan Program Fast Track SPM Tahfiz.\nFast Track SPM Tahfiz USAS Bridging Centre (Pusat Kecemerlangan USAS) merupakan program yang berkonsepkan kelas tuisyen untuk pelajar lepasan tahfiz terpilih yang menghafal sekurang-kurangnya 10 juzuk al-Quran dan tidak berpeluang mengikuti pengajian akademik secara formal di sekolah menengah harian kerajaan untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).\nMelalui program ini, pelajar lepasan tahfiz berpeluang menduduki peperiksaan SPM dalam tempoh 10 bulan di USAS.\u00a0 Hingga kini, USAS Bridging Centre mempunyai sebanyak 89 orang pelajar (69 orang pelajar lelaki dan 20 pelajar perempuan).\nPada majlis yang sama, sebanyak RM288 ribu sumbangan turut diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Perak. Peruntukan tersebut akan digunakan untuk menyokong program Back to School YPM Perak dan dikhususkan\u00a0 kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di 24 parlimen. Sementara itu, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Kangsar pula menerima memperuntukkan sebanyak RM139 850. Peruntukan tersebut akan digunakan untuk Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pendidikan YPM Daerah Kuala Kangsar. Untuk rekod, jumlah keseluruhan CSR Pendidikan YPM di Perak pada tahun 2021 mencecah RM631 550 dan telah disalurkan kepada 3000 orang pelajar sekolah menengah dan\u00a0 sekolah rendah.\n\nPelaksanaan Program Back To School YPM merupakan kerjasama erat antara Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). Sejak program ini diperkenalkan sebayak 40 ribu orang pelajar telah menerima manfaatnya.\nPada majlis tersebut juga, YPM turut menerima sumbangan daripada empat syarikat milik usahawan MARA yang terdiri daripada Syarikat Ameen Products Sdn. Bhd. yang menyumbang sebanyak RM6000; Syarikat Minyak Afiat Sdn. Bhd. (RM6000); Qap D Optic Sdn. Bhd.\u00a0(RM5280); dan Suffy Dairy Sdn. Bhd. (RM3840)." "Enam Daerah di Selangor Dikenakan PKP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini mengumumkan enam daerah di Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 6 hingga 17 Mei 2021.\nEnam daerah tersebut ialah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang. Tiga lagi daerah iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor kekal di bawah PKP Bersyarat (PKPB).\nBerikutan arahan PKP tersebut, pergerakan rentas daerah tidak dibenarkan melainkan untuk kes kecemasan atau tujuan bekerja. Selain itu, aktiviti ekonomi di enam daerah berkenaan dibenarkan dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat. Namun begitu, sebarang aktiviti sosial tidak dibenarkan.\nIsmail Sabri turut memaklumkan SOP berkaitan dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Menurut beliau, takbir raya di masjid atau surau dibenarkan di kawasan PKP, PKPB dan PKP Pemulihan (PKPP) mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri, namun takbir dari rumah ke rumah tidak dibenarkan.\nSolat Sunat Aidilfitri pula dibenarkan dilakukan di masjid atau surau di kawasan PKP, PKPB dan PKPP, mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri. Tambah beliau, jamuan hari raya di masjid atau surau selepas Solat Sunat Aidilfitri hanya dibenarkan di kawasan PKPB dan PKPP sahaja.\nDalam pada itu, aktiviti ziarah pada hari raya di kawasan PKP dibenarkan pada 1 Syawal sahaja dengan kehadiran tetamu tidak melebihi 15 orang pada satu-satu masa. Bagi kawasan PKPB dan PKPP pula, aktiviti ziarah dibenarkan dari 1 hingga 3 Syawal, terhad kepada kehadiran 20 orang (PKPB) dan 25 orang (PKPP) pada satu-satu masa. Tuan rumah digalakkan menyediakan pengimbas suhu badan, kod QR MySejahtera atau buku pendaftaran kehadiran tetamu.\nDi samping itu, aktiviti ziarah kubur hanya dibenarkan di kawasan PKPB dan PKPP, terhad enam orang bagi setiap petak kubur serta tidak melebihi 30 minit.\nBeliau juga menegaskan, penganjuran rumah terbuka sama ada di kawasan PKP, PKPD, PKPB atau PKPP adalah tidak dibenarkan pada Hari Raya Aidilfitri." "UMS Hantar Pelajar Pulang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKOTA KINABALU \u2013 Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini menghantar pelajar pulang ke kampung halaman masing-masing selepas Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) untuk pulang bersempena cuti Hari Raya Aildilfitri kecuali pelajar dari Sarawak.\nSebanyak 2000 orang pelajar akan dihantar secara berperingkat mengikut tarikh yang telah ditetapkan boleh MKN, iaitu bermula pada 7 hingga 12 Mei ini.\n\u00a0Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Chm Dr. Taufiq Yap Yun Hin,\u00a0Pergerakan pulang pelajar akan menggunakan tiga kaedah, iaitu menggunakan kenderaan sendiri, dijemput oleh ibu bapa atau penjaga atau menggunakan bas yang diselaraskan oleh IPT. Sementara itu, pergerakan melalui kenderaan awam tidak dibenarkan kecuali menggunakan perkhidmatan penerbangan.\u00a0\nTambah Taufiq, menerusi arahan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), UMS turut memberi pilihan kepada pelajar sama ada ada ingin pulang ke kediaman masing-masing atau kekal berada di kampus bersempena cuti perayaan ini. Pergerakan pelajar UMS dianggarkan melibatkan 2000 orang pelajar.\nRata-rata pelajar\u00a0 yang terlibat dalam penghantaran pulang pada 8 Mei lalu melahirkan kegembiraan dan ucapan terima kasih kepada KPT dan UMS kerana menguruskan perjalanan pulang dengan teratur dan mengikut \u00a0Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.\nMenurut Nor Syamsul Darusi, 21 tahun, kepulangannya amat mengembirakan kedua ibu bapanya di Sandakan. Sementara itu, Siti Nuradaha Mohd Ali, 22 tahun, bersyukur dapat pulang ke kampungnya di Sandakan sekali gus meraikan Hari Raya Aidilfirtri bersama-sama keluarganya. Pelajar tahun satu, Farah Eridiana Irwan, 21 tahun pula tidak menyangka dapat berpuasa dan menyambut Aidilfitri di kampungnya di Semporna.\u00a0 Paling penting, kesemua pelajar yang ditemui berjanji akan mematuhi SOP dari semasa ke semasa." "Kenyataan KPM Mengenai Isu di SMK Puncak Alam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPUTRAJAYA \u2013 Berikutan perkara yang tular mengenai dakwaan seorang murid bahawa guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam (SMKPA), Selangor, telah mengeluarkan kata-kata yang tidak wajar semasa melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada hari ini telah mengeluarkan satu kenyataan media berkenaan dengan isu tersebut.\nMenurut KPM, berhubung dengan aduan murid mengenai guru yang mengeluarkan kata-kata yang tidak wajar semasa melaksanakan PdP,\nKPM mengambil maklum bahawa murid terbabit telah membuat laporan polis mengenai perkara ini pada 24 April 2021. Memandangkan insiden tersebut masih dalam siasatan polis, KPM tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan sepanjang tempoh siasatan. Pada ketika ini, KPM menempatkan guru berkenaan di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor sehingga siasatan tersebut selesai. Tindakan KPM seterusnya bergantung kepada hasil siasatan kes ini.\nDalam pada itu, KPM juga telah meneliti secara terperinci perkara yang tular mengenai komen yang dikatakan dibuat oleh Pengetua SMKPA terhadap murid tersebut melalui laman sosial Facebook. KPM mengesahkan bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh pengetua berkenaan di Balai Polis Kuala Selangor yang menafikan bahawa beliau telah memuat naik komen tersebut dan mengesyaki akaun Facebook miliknya telah digodam.\nMenerusi kenyataan media tersebut juga, KPM menjelaskan mengenai Surat Pemberitahuan Ketidakhadiran ke Sekolah: Amaran Pertama yang secara umumnya dikeluarkan bagi memastikan ibu bapa/penjaga dan juga pihak sekolah mengetahui dan cakna akan kehadiran dan keberadaan murid semasa sesi persekolahan. Selain itu, tindakan ini juga membolehkan KPM memantau kemungkinan berlaku keciciran dalam kalangan murid seterusnya mengambil tindakan intervensi yang sewajarnya." "Lima Puluh Tahun Hari Guru\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPUTRAJAYA \u2013 Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin, pada hari ini menyampaikan perutusan bersempena dengan Sambutan Hari Guru Kali ke-50 Peringkat Kebangsaan Tahun 2021, yang bermakna genap 50 tahun hari guru semenjak disambut buat pertama kalinya pada tahun 1972.\nMenurut beliau, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun ini masih mengekalkan tema \u201cBerguru demi Ilmu, Bina Generasi Baharu\u201c yang bertepatan dengan usaha menjadikan cinta kepada ilmu sebagai teras pendidikan. Katanya, \u201cguru menjadi pendukung dan pemacu kepada transformasi pendidikan negara yang membawa kepada kejayaan anak didik saban tahun.\u201c\n\u201cDalam situasi penularan pandemik COVID-19 di negara ini sejak lebih setahun lalu, proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) konvensional telah banyak bergantung kepada pembelajaran secara dalam talian yang kini menjadi kebiasaan baharu dalam sistem pendidikan di negara ini. Justeru, Digital Education Learning Initiative Malaysia atau DELIMa yang diumumkan oleh KPM pada 15 Jun tahun lalu menjadi satu daripada platform untuk guru membangunkan PdP secara digital,\u201c jelas Perdana Menteri.\nTambah beliau, pelaksanaan pendidikan digital sebagai elemen dalam Pembelajaran Abad ke-21 juga sejajar dengan anjakan ketujuh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 \u2013 2025 dalam melaksanakan e-pembelajaran yang berteraskan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK).\nDalam perutusan tersebut juga, Perdana Menteri menyampaikan ucapan tahniah kepada guru bernama Noorizan Mohamed yang telah dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan Tahun 2021. Di samping itu, beliau turut mengumumkan dua orang penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan Tahun 2021, iaitu Datuk Dr. Amin Senin dan Dr. Habibah Abdul Rahim. Beliau berkata, \u201csemoga anugerah ini menjadi penyuntik semangat kepada semua warga pendidik untuk terus berusaha dan memberikan sumbangan yang terbaik dalam melonjakkan pendidikan negara dan memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang jauh lebih baik.\u201c" "Penjajahan Israel pada Era Milenium\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSetelah berlangsungnya pertempuran ganas selama hampir 11 hari, akhirnya gencatan senjata diumumkan pada 21 Mei 2021 bagi meleraikan pertempuran antara Israel dengan Palestin. Menurut rangkaian al-Jazeera, serangan Israel terhadap Gaza mengorbankan sebanyak 232 orang penduduk Palestin termasuk 65 orang kanak-kanak, mencederakan lebih 1900 orang manakala 120 ribu penduduk kehilangan tempat tinggal. Bagi pihak Israel pula, dilaporkan terdapat lebih kurang 12 nyawa terkorban meliputi sembilan orang warga Israel, seorang warga India serta dua orang warga Thailand.\nLaporan media antarabangsa seperti BBC dan Reuters menyatakan bahawa pertempuran ini merupakan rentetan keganasan yang melibatkan sekumpulan anggota polis Israel yang mengganggu jemaah di Masjid al-Aqsa ketika mereka menunaikan Solat Sunat Tarawih untuk menghidupkan sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan. Selain itu, pertempuran ini juga tercetus setelah peneroka haram Yahudi ekstremis bersorak dengan slogan kematian dan peristiwa pengusiran bangsa Arab dalam suatu perarakan besar di kota suci umat Islam pada penghujung bulan Ramadan lalu.\nMalah, punca paling besar berlakunya pertempuran ini ialah pengusiran enam buah keluarga rakyat Palestin yang menetap sejak sekian lama di kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmuqaddis Timur yang melambangkan suatu penganiayaan, penindasan dan pencabulan hak rakyat Palestin yang telah lama menetap di tanah air mereka sendiri. Bayangkan sekiranya kita sekeluarga tinggal di rumah sendiri dan memiliki geran secara sah, tiba-tiba diusir tanpa sebab munasabah oleh pihak tertentu, apakah perasaan kita?\nPengusiran keluarga Palestin ini bukan baru berlaku pada Ramadan yang lepas tetapi telah terjadi sejak bertahun-tahun lamanya. Menurut laporan Pusat Maklumat Israel untuk Hak Asasi Manusia di Wilayah Pendudukan Israel, B\u2019Tselem, sebanyak 4170 buah rumah rakyat Palestin dirobohkan semenjak kebangkitan Intifada pada tahun 2000. Menurut badan tersebut juga, dasar perobohan rumah secara skala besar ini bermula dari awal penjajahan Israel pada tahun 1967. Justeru, tindakan peneroka haram Israel yang mengusir rakyat Gaza di kejiranan Sheikh Jarrah tersebut seolah-olah menggosok garam di luka baru. Sudah pasti pengusiran tersebut menggambarkan cubaan pembersihan etnik seperti peristiwa Nakbah.\nPemimpin Barat yang menyokong Israel seperti Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyatakan bahawa serangan udara yang dilancarkan terhadap Gaza sehingga mengorbankan nyawa kanak-kanak dan orang tua termasuklah infrastruktur dan kemudahan rakyat Palestin adalah satu hak Israel yang sah untuk \u201cmempertahankan diri\u201d. Masyarakat dunia digambarkan seolah-olah hak mempertahankan diri ini menghalalkan dan membolehkan penjajahan pada era milenium atas dasar agama dan perkauman ke atas penduduk asal sesuatu tanah air.\nDi samping tu, hak mempertahankan diri ini digunakan bagi membolehkan kerakusan Zionis Israel merampas dan menceroboh tanah milik penduduk asal di sebuah negara yang diiktiraf oleh negara Islam yang lain. Maruah rakyat Palestin diperlakukan dengan lebih hina daripada binatang apabila Zionis Israel boleh secara suka hati memukul, mencederakan, serta membunuh insan yang tidak berdosa sejak dahulu lagi atas nama hak mempertahankan diri.\nInilah bukti bahawa pentadbiran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengamalkan dasar diplomasi secara aparteid bersenjata. Naratif berkaitan dengan pelan damai sejak 15 tahun lalu melibatkan gencatan senjata dilihat tidak lebih sebagai kosmetik alternatif damai versi Zionis Israel. Kedamaian tidak berlaku apabila Israel tidak mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat dengan menempatkan seluruh tentera Israel di dalam negara Palestin. Wujudnya tembok pemisah antara beberapa wilayah Palestin yang didirikan oleh Israel dan dikawal oleh tenteranya. Sekatan dari sudut hak maritim, laluan udara dan darat yang melibatkan sempadan negara Palestin dengan negara jiran oleh Israel juga tidak dilihat sebagai mengharmonikan pelan damai Timur Tengah tersebut.\nRejim Zionis Israel sebenarnya bijak memanipulasikan masyarakat dunia apabila memesongkan istilah keganasan biarpun apabila berlakunya gencatan senjata. Mereka berjaya mempengaruhi pemimpin barat bahawa kemusnahan di Gaza ialah hasil tindak balas terhadap serangan roket yang dilancarkan oleh Hamas. Serangan Israel seolah-olah mahu mengajar seluruh rakyat Palestin agar bertanggungjawab atas insiden serangan balas roket Hamas, sedangkan roket yang dilancarkan oleh Hamas jarang-jarang tersasar ke arah rakyat Israel.\nMenurut badan hak asasi manusia sejagat iaitu Human Rights Watch (HRW), serangan peluru berpandu daripada pesawat dron Israel mampu menuju tepat ke arah sasaran sehingga menyebabkan kematian dan kemusnahan yang luas terhadap lebih dua juta orang awam Palestin di Gaza lantas mengakibatkan krisis kemanusiaan. Penduduk di Gaza telah menjadi mangsa uji kaji peluru berpandu dron Israel sejak tahun 2007 yang membawa kepada penderitaan kemiskinan, trauma dan kadar pengangguran yang tinggi melebihi 50 peratus.\nMana-mana negara yang bersuara menentang serangan Israel terhadap Gaza akan dianggap sebagai menyokong keganasan. Israel berjaya melindungi keganasannya di balik slogan \u201cholocaust\u201d dan menampilkan diri sebagai sebuah negara demokrasi. Slogan \u201cholocaust\u201d dikatakan bermula apabila buku kontroversi yang bertajuk The Jewish Peril: The Protocols of the Elders of Zion yang diterbitkan di London pada tahun 1920 menyatakan bahawa Zionis Yahudi akan memerintah dunia dengan memanipulasi ekonomi, menguasai media serta menyuburkan konflik dan pertikaian agama. Buku tersebut yang merupakan satu daripada buku berkaitan dengan protokol Zionis telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa dan dikatakan sebagai propaganda Adolf Hitler dan Joseph Goebbles ketika memimpin German sehingga berlakunya peristiwa holocaust (kemusnahan).\nRejim Zionis cuba mendapatkan simpati dunia dengan menyatakan bahawa peristiwa holocaust cuba dihidupkan semula pada era milenium melalui aktiviti keganasan. Sedangkan dalam senyap, negara Zionis tersebut berjaya menjadikan aparteid dan perkauman berfungsi untuk menjamin ketuanan Yahudi sambil menyembunyikan penaklukan terhadap Palestin. Situasi Israel pada hari ini sangatlah tepat dengan kata bidalan Melayu, lempar batu, sembunyi tangan.\nZionis Israel juga bijak bersembunyi di balik slogan antisemetik. Mana-mana pihak yang mengkritik polisi, dasar mahupun pendekatan Israel dalam melebarkan pendudukan di bumi Palestin akan dianggap sebagai antisemetik. Dr. Norman G. Finkelstein dalam bukunya yang bertajuk Beyond Chutzpah: On the Misuse of Anti-Semitism and the Abuse of History, menyatakan bahawa Zionis Israel akan berselindung atas nama slogan antisemetik apabila penipuan Zionis Israel secara keterlaluan terserlah, berlakunya kritikan yang sah dari sudut undang-undang terhadap dasar Israel dan kritikan yang melimpah ruah oleh masyarakat dan pemimpin yang dapat diramalkan oleh Zionis terhadap Israel dan Yahudi secara umumnya.\nTidak hairanlah apabila Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang telah membenarkan penyiasatan semula jenayah Israel di Palestin yang didudukinya sejak tahun 2015, pada tahun ini dikecam oleh Benjamin Netanyahu sebagai \u201cantisemitisme halus\u201d. Malaysia juga pernah dilabel mengamalkan sentimen \u201cantisemitisme fanatik\u201d oleh jurucakap Kementerian Luar Israel, Emmanuel Nahshon, pada tahun 2019 kerana mengenakan sekatan kemasukan atlet perenang paralimpik Israel ke Malaysia. Begitulah dakyah dan kejayaan Israel dalam memanipulasikan masyarakat dunia.\nTugas kita pada hari ini sangat banyak. Kita perlu mula mencerahkan minda masyarakat dunia bahawa isu di Palestin khususnya di Gaza merupakan isu kemanusiaan dan bukan sekadar isu keagamaan. Wacana dan medan intelektual perlu dipelbagaikan bagi memberikan gambaran yang jelas berkaitan dengan isu serangan Israel dan kebobrokan negara tersebut yang memanipulasikan istilah keganasan.\nSelain itu, kita juga perlu membantu dengan menyumbang dana sekadar yang boleh bagi mengurangkan krisis kemanusiaan yang berlanjutan biarpun gencatan senjata telah dipersetujui antara Israel dengan Palestin. Yang paling penting ialah doa yang tidak putus-putus kepada Tuhan Yang Maha Esa agar mengembalikan keamanan di Palestin dan menegakkan keadilan buat mereka yang dizalimi." "Persediaan untuk Mengambil Vaksin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIsu berkaitan dengan vaksin pada hari ini mendapat perhatian banyak pihak. Pelbagai maklumat tersebar menerusi media sosial sehingga kadangkala tidak diketahui sumbernya, sama ada benar atau tidak, sahih atau rekaan. Hal ini sedikit banyak mencetuskan kegusaran dalam kalangan penerima vaksin apatah lagi perkara ini merupakan antara norma baharu dan kebiasaan baharu dalam masyarakat.\nBagi memberikan gambaran dan keadaan sebenar serta apa-apa yang perlu dilakukan sebelum, semasa dan selepas menerima vaksin, mari kita ikuti pengalaman yang dikongsikan oleh Dr. Sofia Hayati Yusoff, yang merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).\nBeliau yang baru sahaja mendapatkan dos pertama vaksin AstraZeneca di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) baru-baru ini bersama-sama enam orang ahli keluarganya mengakui bukan satu keputusan yang mudah untuk berbuat demikian. Apatah lagi sejak belakangan ini bertebaran berita mengenai impak negatif vaksin bagi orang yang telah menerimanya. Tegasnya, ilmu yang benar dan persediaan perlu dititikberatkan sebelum menerima vaksin.\nPerkara paling utama sebelum melangkah ke PPV adalah bersedia dari segi mental dan fizikal. Persediaan mental dilakukan dengan membaca artikel berkaitan dengan vaksin COVID-19 menerusi jurnal perubatan terutamanya mengenai vaksin yang bakal diterima, iaitu AstraZeneca. Tanamkan keyakinan dalam diri bahawa apa-apa yang bakal dilakukan ini merupakan satu keperluan terdesak dan amat dituntut oleh agama. Anggap ini usaha kecil demi mencapai imuniti kelompok (herd immunity).\nDari segi persediaan fizikal pula, bermula dari tarikh mendaftar vaksin, Dr. Sofia Hayati mula mengambil madu asli dan habbatus sauda sebagai usaha meningkatkan sistem imun dalam badannya yang juga bertujuan mengelakkan kesan sampingan yang teruk selepas mengambil vaksin. Hasilnya, dia dan suami tidak mengalami sebarang alahan atau kesan sampingan lain selepas 48 jam menerima vaksin berbanding dengan anak-anaknya yang kesemuanya mengalami demam kerana mungkin tidak mengambil madu dengan konsisten. Pesannya, makanlah apa-apa sahaja yang dirasakan sesuai untuk badan demi meningkatkan imun yang terdiri daripada pelbagai sumber seperti buah-buahan dan makanan sunah kerana mungkin perkara itu sedikit banyak membantu dalam menguatkan imunisasi badan kita sekali gus sebagai satu daripada usaha mengelakkan kesan sampingan teruk selepas menerima vaksin.\nSelain itu, Dr Sofia Hayati turut berkongsikan persediaan khas yang diperlukan untuk mereka yang berpenyakit atau pesakit yang mengambil ubat secara konsisten.\u00a0 Memandangkan dirinya merupakan pesakit tetap di Institut Jantung Negara (IJN) dan mengambil dua jenis ubat dalam sehari, penting baginya untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar. Justeru, maklumat pravaksinasi yang tersedia dalam aplikasi MySejahtera jangan sesekali diabaikan untuk mengetahui apa-apa tindakan selanjutnya berkenaan dengan keadaan kesihatan penerima vaksin. Melalui aplikasi tersebut, Dr. Sofia mengetahui bahawa perlu baginya menelefon Klinik Kardiologi IJN dan mendapatkan khidmat nasihat untuk vaksin jenis AstraZeneca. Kemudian, pihak IJN telah mengeluarkan surat kebenaran vaksin dan surat itu hendaklah dibawa ke PPV bersama-sama nama ubat yang dimakan sebagai persediaan jika ditanya oleh doktor di sana.\nAntara persediaan lain yang penting juga sebelum ke PPV adalah memastikan dan menyemak dengan betul tarikh dan masa proses vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera. Pastikan juga anda menyemak nama stesen agar tidak berlaku kekeliruan ketika tiba di PPV. Nasihatnya juga, semakan perlu dilakukan seberapa kerap yang mungkin dan perlu dilakukan pada setiap hari hinggalah tiba pada tarikh sebenar kerana ada kemungkinan masa akan ditukar. Pengalamannya sendiri, sepatutnya masa bagi gilirannya adalah pada jam 9.30 pagi telah ditukar ke 5.30 petang.\nPeserta juga dituntut tiba antara 15 hingga 30 minit lebih awal di PPV. Jangan datang terlalu awal dan jangan sama sekali lewat kerana akan memberikan kesan kepada lebih banyak orang. Buat kajian sedikit tentang tempat letak kenderaan pelawat di premis PPV yang berkaitan kerana hal ini sangat membantu memudahkan urusan kita. Namun begitu, dinasihatkan untuk peserta menggunakan kenderaan awam seperti LRT jika PPV anda berdekatan dengan kemudahan awam, seperti di WTCKL.\nSelain kad pengenalan, benda paling penting yang perlu dibawa ke PPV ialah pen. Jika tidak membawa pen, hal yang demikian akan menyusahkan banyak pihak kerana kita diperlukan mengisi beberapa borang sebelum proses vaksinasi bermula. Di samping itu, telefon bimbit yang dibawa juga perlu dipastikan baterinya penuh semasa tiba di PPV. Penggunaan telefon bimbit juga boleh dikatakan kerap kerana perlu mengimbas banyak kod QR semasa berada di sana.\nKetika berada di PPV, terdapat beberapa titik semak yang perlu diikuti seperti di WTCKL, setiap tingkat akan diletakkan titik semak bagi memudahkan para penerima vaksin menuju laluan yang betul. Akan tetapi, jangan risau, terdapat juga beberapa pegawai bertugas yang akan memberikan informasi serta tunjuk arah jika pengunjung mengalami kekeliruan. Tempoh yang diambil untuk proses vaksinasi hanyalah antara 30 hingga 45 minit sahaja bagi setiap orang kerana semua kru yang terlibat sangat profesional dan masing-masing tahu mengenai tugasan mereka. Jadi, buat anggaran masa dengan sebaik-baiknya jika sudah sampai giliran anda.\nSelepas divaksinasi, sila awasi keadaan kesihatan dalam tempoh 48 jam. Jika mengalami ketidakselesaan badan, demam, atau sakit-sakit badan, hanya dibenarkan untuk mengambil parasetamol seperti Panadol sahaja. Sebarang jenis ubat tahan sakit lain tidak dibenarkan sama sekali selain parasetamol sahaja. Jika berlarutan, dapatkan nasihat doktor di klinik berdekatan kerana keadaan badan setiap daripada kita berlainan, jadi kesannya juga mungkin berbeza-beza." "Pemerkasaan PdPR pada PKP 3.0\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSemua pihak semakin menerima hakikat bahawa bidang pendidikan pada hari ini lebih banyak menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) berbanding dengan kaedah bersemuka, membuatkan banyak pihak yang semakin matang dalam melakukan penambahbaikan dari segenap segi. Malah, banyak juga pihak termasuk kerajaan sering tampil dengan pelbagai jenis bantuan serta teknik baharu bagi membantu guru, pelajar dan ibu bapa, dalam usaha memastikan PdPR berjalan dengan baik dan berkesan.\nJika dahulu, perkara utama yang sering dikatakan menjadi kekangan ialah keadaan ekonomi pelajar kerana tidak semua ibu bapa mampu menyediakan peranti untuk digunakan oleh anak-anak mereka dalam menjalani kaedah PdPR sehinggakan banyak ibu bapa yang merungut apabila anak mereka banyak tercicir dalam pembelajaran. Namun begitu, pada tahun ini, kerajaan telah mengambil inisiatif bagi membantu mereka yang tidak berkemampuan ini dengan cara memperkenalkan Program Jaringan Prihatin di bawah Belanjawan 2021 untuk 8.4 juta orang penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) mendapatkan bantuan bagi perkhidmatan data internet atau pembelian peranti mudah alih. Program yang bernilai RM3.5 bilion ini ialah pelengkap kepada inisiatif MyDigital yang diumumkan pada Februari 2021 dan bertujuan untuk membina bakat dan kemahiran digital, seiring dengan usaha keterangkuman berpaksikan objektif Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.\nSelain itu, guru-guru juga telah disediakan platform pengajaran yang boleh dicapai secara percuma oleh kesemua pelajar sama ada daripada golongan tinggi, sederhana atau rendah, iaitu melalui saluran khusus TV Pendidikan, DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang telah memulakan siaran pertamanya pada 17 Februari lalu. Saluran tersebut menyiarkan program yang diterbitkan khusus berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM.\nMalah, banyak lagi inisiatif lain yang telah diperkenalkan oleh pihak KPM dalam memperkasakan PdPR pada kali ini. Usaha para guru berhempas pulas dalam memastikan setiap anak didik mendapat pendidikan yang setara patut diberikan pujian. Tambahan lagi, guru juga dilihat semakin kreatif dalam menyediakan bahan bantuan mengajar (BBM) dengan mengambil peluang atas kepelbagaian teknologi seperti melalui platform YouTube, TikTok, Facebook, Canva dan sebagainya.\nPelbagai usaha boleh dilakukan oleh guru dalam memperkasakan PdPR termasuk dengan menggunakan kemahiran sendiri yang tidak merumitkan. Biarlah setiap bahan atau video yang digunakan oleh guru itu ringkas, tetapi padat dengan ilmu. Jika ada guru yang mudah terikut-ikut dengan cara guru lain mengajar seperti menggunakan video yang kreatif, tetapi jika tiada kemahiran, hal itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan bahkan memakan masa. Oleh itu, gunakan bahan yang ada tidak kira daripada buku teks atau buku latihan dan masukkan dalam video atau slaid. Jangan terikut-ikut dengan orang lain sehinggakan banyak perkara tertangguh. Lebih teruk lagi apabila perkara tersebut menyebabkan guru \u00c2\u00a0mengalami tekanan.\nPara guru juga boleh memfokuskan kepada aktiviti berbanding dengan menelaah buku teks secara pembelajaran satu hala. Guru perlu memikirkan cara yang terbaik bagi memudahkan pelajar untuk mencari maklumat secara kendiri tidak kira menerusi internet, perbincangan dengan ahli keluarga, menerusi bahan yang disediakan atau dengan menggunakan bahan yang sedia ada di rumah. Berikan cara kepada pelajar mengikut tahap mereka. Aktiviti ini boleh membina rasa tanggungjawab dalam pembelajaran kepada murid.\nAntara perkara lain yang boleh ditambah baik ialah guru membimbing dan memberikan maklum balas kepada pelajar dengan segera. Jangan sesekali memberikan latihan dan mengumpulkannya sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kemudian baru memberikan penilaian dan maklum balas. Pelajar memerlukan tunjuk ajar secara berterusan daripada guru dan guru seharusnya tidak membiarkan pelajar itu terkontang-kanting dengan tugasan yang tidak difahaminya. Jika tugasan pertama tidak difahami oleh pelajar, pastikan guru memberikan penjelasan sebaik-baik mungkin agar ketidakfahaman tersebut tidak berlarutan pada tugasan serta topik seterusnya. Selain itu, jika guru menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian seperti menggunakan aplikasi seperti Zoom Meeting, guru juga perlu memperlihatkan wajah mereka agar pelajar yang mendengar teruja serta memahami apa-apa yang diajar dengan mimik muka serta ekspresi daripada guru.\nMemastikan pelajar mendapatkan pendidikan yang sempurna ketika berada di rumah bukanlah suatu perkara yang mudah. Ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan memberikan kerjasama yang baik terhadap guru bagi memastikan anaknya mengikuti kelas dengan baik mengikut jadual yang telah ditetapkan. Janganlah pula kali ini tular lagi kisah guru mengajar secara dalam talian bersendirian tanpa kehadiran murid.\nPihak kementerian juga perlulah mengurangkan bebanan tugas guru dari segi pelaporan, kerja perkeranian dan penyelarasan data sekolah yang sepatutnya dilakukan oleh pegawai tadbir di peringkat pejabat pelajaran daerah (PPD), jabatan pelajaran negeri (JPN) dan KPM supaya guru boleh memberikan fokus sepenuhnya kepada kemenjadian murid. Selain itu, pihak berwajib juga perlu membangunkan aplikasi yang mudah dan mesra pengguna untuk tujuan pelaporan PdPR.\nBimbingan dan panduan yang cukup tentang pedagogi pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian kepada guru juga perlu disediakan. Suasana serba baharu PdPR memerlukan kepada pedagogi dan pendekatan baharu buat para guru yang begitu dinamik dan giat dibangunkan oleh pakar, terutamanya di negara maju yang terkenal dengan kualiti pendidikan mereka yang lebih terkedepan. Hal ini sekali gus menjadikan norma baharu pendidikan negara yang akan berlanjutan dan entah bila akan berakhir ini suatu perkara yang penting dalam membina watak manusia yang dahagakan ilmu demi kelangsungan hidup, selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berusaha mengembangkan potensi individu secara seimbang untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan dalam mencapai kesejahteraan diri." "Manifestasi Solidariti Penjawat Awam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali pada hari ini mengumumkan sumbangan penjawat awam dalam mendepani pandemik COVID-19 di Malaysia melalui pengurangan elaun selama tiga bulan yang akan disumbangkan ke Akaun Amanah Bencana.\nYang berikut merupakan teks kenyataan media tersebut:\nKENYATAAN MEDIA SUMBANGAN PENJAWAT AWAM" "Memartabatkan Bahasa Melayu dalam Bidang Sains, Teknologi, Multimedia dan Komunikasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dapat dilihat dengan usaha kerajaan Malaysia untuk memartabatkan penggunaan bahasa tersebut dalam bidang sains, teknologi, multimedia dan komunikasi seiring dengan permintaan dalam Revolusi Perindustrian 4.0. Menurut YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Asma Ismail, yang juga merupakan Pemegang Kursi Ibn Sina bagi Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Malaysia kini telah mengorak langkah untuk menjadi negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.\nSebagai pembentang bagi Sidang 10, iaitu \u201cPengembangan Bahasa Melayu melalui Sains, Teknologi, Multimedia dan Komunikasi\u201c, beliau turut mencadangkan agar polisi sedia ada yang berkaitan dengan pembelajaran dalam bidang sains dan matematik disemak semula. Selain itu, masalah kekurangan pelajar dalam bidang seperti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di negara ini juga harus segera ditangani agar jumlah penutur yang terlibat dalam bidang tersebut tidak akan berkurangan. Hal ini dapat dilihat apabila wujud penurunan jumlah pelajar yang mengambil bidang STEM, iaitu sebanyak 36.65 peratus berbanding dengan bidang sastera yang terus meningkat, iaitu sebanyak 63.35 peratus.\nJumlah penerbitan makalah dalam bahasa Melayu juga agak rendah, termasuklah penerbitan makalah dalam Sains dan Teknologi yang menggunakan bahasa Melayu sebanyak 0.025 peratus, jauh lebih rendah sekiranya dibandingkan dengan bidang sains sosial mahupun sastera.\nSebagai Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Asma Ismail turut berkongsi tentang strategi yang berkaitan dengan pendekatan yang dibawa oleh ASM dalam usaha meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi. Menurut beliau, ASM telah mewujudkan laman web e-estidotmy yang menyediakan makalah dalam bidang STEM dengan menggunakan bahasa Melayu yang lebih mudah difahami. Pendekatan tersebut telah berjaya menarik minat pembaca untuk lebih mendalami bidang tersebut.\nSebagai pembentang kedua, YBhg. Profesor Dato\u2019 Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud membicarakan tentang kertas kajiannya yang bertajuk \u201cMemartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu dalam Sains dan Teknologi\u201d. Beliau menekankan tentang peri pentingnya peranan bahasa Melayu dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di institusi pendidikan. Oleh itu, beliau mencadangkan agar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan universiti membina korpus ilmu sains dan teknologi dalam bahasa Melayu dengan menghidupkan semula program membina istilah, membuat kamus, menterjemah dan menulis buku asli bidang sains dan teknologi dalam bahasa Melayu.\nBerdasarkan kertas kajian \u201cPengembangan Bahasa Melayu Melalui Sains, Teknologi, Multimedia dan Komunikasi\u201d yang dibentangkan oleh YBhg. Profesor Datuk Dr. Jayum Jawan ketika persidangan tersebut turut menyatakan bahawa masyarakat memerlukan pendekatan yang holistik bagi memastikan kedaulatan dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara terus terpelihara. Hal ini penting agar proses pembinaan negara bangsa Malaysia dan proses perpaduan dan integrasi dapat ditingkatkan.\nOleh itu, usaha untuk mengembangkan bahasa Melayu melalui bidang sains, teknologi, multimedia dan komunikasi harus diutamakan oleh setiap pihak, terutamanya mereka yang mempunyai autoriti dalam bidang tersebut. Tegasnya, semua pihak tanpa mengira peringkat perlu mengambil berat berkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu dalam konteks pembinaan negara bangsa Malaysia.\nPersidangan pada petang ini yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir menyaksikan kehadiran empat orang pembentang, iaitu YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Asma Ismail (Malaysia); YBhg. Profesor Dato\u2019 Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud (Malaysia); YBhg. Profesor Datuk Dr. Jayum Jawan (Malaysia) dan YBhg. Profesor Dr. Habib Zabaliyez (Azerbaijan), serta turut menampilkan YBhg. Profesor Madya Dr. Mohd Mizan Aslam (Universiti Malaysia Perlis) selaku moderator." "Tanpa Kuasa, \u201cTentera Bawang\u201c Boleh Menang?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSepuluh tahun lalu, Wael Ghonim menggunakan Facebook untuk menggerakkan rakyat sehingga tercetusnya Revolusi 2.0 di Mesir. Wael bukanlah seorang selebriti media sosial ataupun jutawan terkenal dan jauh sekali ahli politik. Dia hanyalah seorang graduan yang berkelulusan dalam bidang kejuruteraan komputer dan kewangan. Pada tahun 2010, Wael berpindah ke Dubai setelah ditawarkan jawatan sebagai Ketua Pemasaran Google bagi Timur Tengah dan Afrika Utara.\nCeritanya bermula pada 8 Jun 2010, apabila dia mendapat kiriman gambar di Facebooknya yang dihubungkan terus kepada akaun rasmi Facebook Dr. Ayman Nour, ahli politik dan bekas calon presiden Mesir. Gambar seorang lelaki dengan wajah dan kepala berlumuran darah terbaring di atas jalan. Bibirnya terkoyak, rahangnya remuk dan gigi hadapannya hilang. Pada ketika melihat gambar itu, Wael mula beranggapan gambar tersebut merupakan gambar mangsa peperangan.\u00a0 Apabila mengintai masuk ke akaun Dr. Ayman, barulah Wael tahu bahawa lelaki dalam gambar tersebut bernama Khaled Mohamed Said yang dipukul sehingga mati pada 6 Jun 2010 oleh dua orang pegawai polis rahsia Iskandariah, Mesir.\nKes Khaled Mohamed Said menambah rasa kecewa dan tidak puas hati Wael pada rejim Mesir sejak sekian lama. Wael membuka akaun Facebook Kullena Khaled Said (Nama Saya Khaled Said) sekadar untuk memancing kesedaran rakyat Mesir tentang kekejaman, pelanggaran hak asasi dan membawa demokrasi ke Mesir. \u00a0Dalam masa tiga hari, Facebook Kullena Khaled Said mampu mengumpulkan seramai 100 ribu orang pengikut. Ketika revolusi berlaku, pengikut Facebook Kullena Khaled Said mencecah 500 ribu. Facebook digunakan sepenuhnya sebagai medium melancarkan peperangan maya, mengajak rakyat turun ke jalanan untuk membantah kekejaman rejim.\nKebetulan pada ketika itu, seluruh dunia sedang kemaruk dengan Facebook, tekan butang \u201cdisukai\u201d atau \u201ctidak disukai\u201d, menghitung seberapa banyak tanda disukai yang diperoleh bagi setiap hantaran yang dibuat. Bukan itu sahaja, semua orang suka meluahkan perasaan, menghebohkan ke seluruh dunia bahawa mereka berkuasa serta mampu melakukan apa-apa sahaja dengan Facebook.\nWael tidak menyeru rakyat agar turun ke jalanan untuk berdemonstrasi, apatah lagi melakukan revolusi. Dia hanya menyatakan perspektif keadaan yang berlaku di Mesir. Kesan paparan serta butang \u201cdisukai\u201d, \u201ctidak disukai\u201d dan \u201ckongsi\u201d daripada Facebook pada akhirnya menyebabkan rejim Presiden Hosni Mubarak tumbang.\nAda banyak lagi rakyat biasa yang menjadi klon Wael Ghonim di seluruh dunia mencetuskan revolusi dan mengubah sejarah negara masing-masing kerana keberanian, keyakinan serta sifat optimis yang dimiliki. Misalnya, Tunisia ada Neila Chaabane yang memulakan revolusi sehingga jatuhnya Presiden Zine El Abedine Ben Ali setelah 24 tahun memerintah. Manakala di Syria ada Razan Ghazzawi, seorang pemblog, memaparkan pendapatnya melalui Twitter dan Facebook bagi menentang Presiden Bashar Assad. Di Libya, ada Mohammed Nabbous sementara Yaman ada Bushra al-Mugtari. Semua nama yang disebutkan itu bukan ahli politik dan jauh sekali selebriti. Mereka hanyalah rakyat biasa yang menjadi luar biasa sehingga mampu mengubah sejarah.\nSemua peristiwa itu memberikan pengajaran agar semua pihak tidak memandang remeh kepada kuasa rakyat. Kuasa rakyat lebih hebat berbanding dengan orang yang memiliki kuasa. Dunia sudah berubah, hero itu bukan terletak di atas bahu individu sepertimana yang dipamerkan oleh Rambo, Superman, Captain America, Spiderman, Batman, \u00a0Ant Man, Thor, Iron Man mahupun X-Men. Setiap orang ialah hero dan berjuang dengan caranya tersendiri.\nKuasa rakyat dan solidariti paling hebat yang pernah terjadi sepanjang abad ini adalah pada ketika Gaza diserang Israel baru-baru ini. Ketika umat Islam di seluruh dunia sedang membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri, penduduk Gaza tidak berhenti-henti dibedil dengan peluru Israel. Seperti biasa, Israel memberikan alasan untuk mempertahankan diri. Israel menjadikan serangan ke atas Gaza pada bulan Ramadan sebagai tradisi tahunan yang pernah gagal dilaksanakan.\nNamun begitu, serangan pada Ramadan kali ini dilihat paling dahsyat mungkin disebabkan paparan berita secara langsung dari Gaza menerusi media sosial yang dipancarkan ke seluruh dunia. Pada awal-awal konflik tersebut, semua peristiwa yang berlaku di Gaza boleh diakses menerusi Facebook, Intagram, Twitter dan media sosial yang lain tanpa sekatan. Apabila seluruh dunia mula mengetahui kekejaman yang dilakukan oleh Israel, laman sosial tersebut mula menyekat akaun yang lantang menyuarakan bantahan terhadap Israel. Warga siber membalas sekatan itu dengan kempen satu bintang untuk aplikasi media sosial tersebut. Kempen itu berjaya, kadar bintang yang tinggi tiba-tiba turun secara mendadak menjadi 2.4 bintang sahaja.\nPerang Palestin-Israel pada kali ini merupakan perang yang luar biasa. Bukan tentera al-Qassam sahaja yang menghantar roket membedil Israel malah peluru berpandu maya turut dihantar. \u201cTentera Bawang Malaysia\u201d dan \u201cJabatan Warga Siber Negara\u201d tidak berhenti-henti membedil akaun media sosial rakyat dan pemimpin Israel. Muncul tanda pagar \u201ckoyak Israel\u201d dan \u201cIsrael koyak\u201d. Sebenarnya, banyak lagi tanda pagar yang mengecam Israel tetapi yang paling menarik ialah \u201cIsrael koyak\u201d. Tidak diketahui siapa yang memulakannya, namun yang pasti perkataan \u201ckoyak\u201d popular di seluruh dunia paling banyak dicari maknanya pada ketika itu.\nKempen psikologi terbalik dilancarkan daripada tanda pagar yang menyatakan sokongan kepada Palestin dan menentang Israel (seperti #savegaza, #gazaunderattack, #savesheikhjarah dan #freepalestine) kepada tanda pagar menyokong Israel (seperti #visitisrael, #israelunderattack, #israelfirls, #israelfood dan #israeldefenseforce) untuk mengelakkan akaun disekat. Strategi itu berjaya dan maklumat terus disampaikan ke seluruh dunia tanpa dapat dikesan buat sementara waktu.\nTidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kejayaan mempertahankan Gaza dan al-Aqsa dalam peperangan kali ini merupakan hasil perjuangan rakyat menerusi media sosial. Jika dahulu, mata dunia dikaburi dengan laporan media antarabangsa yang bias tapi kini tidak lagi. Media antarabangsa yang selama ini menyokong Israel mula akur pada kehebatan wartawan warga Gaza dalam menyampaikan ketelusan berita. Platform media sosial menyatukan masyarakat dunia tanpa mengira agama dan bangsa dalam usaha menentang kekejaman Israel. Demonstrasi jalanan secara aman berlaku di seluruh dunia bagi mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Amerika Syarikat (AS) supaya bertindak.\nPeperangan kali ini juga telah menyatukan penggodam terhebat dunia untuk menyerang laman web penting Israel. Kempen #op-Israel dimulakan oleh kumpulan penggodam hebat yang berpangkalan di AS sebagai tanda protes kekejaman Israel sejak tahun 2011 dan semakin aktif pada tahun 2018 hingga sekarang. Kerja mereka adalah dengan menyerang laman web penting Israel dengan matlamat untuk lenyapkannya dari dunia. Penggodam Malaysia adalah antara yang aktif dan ketiga terhebat dalam #op-Israel.\nKemuncak segala kemarahan masyarakat dunia dan membawa kepada kekalahan Israel adalah apabila serangan udara Israel memusnahkan bangunan media antarabangsa yang menempatkan al-Jazeera dan agensi The Associated Press. Hal itu bermakna Israel tidak melindungi keselamatan dan kebebasan wartawan untuk menjalankan tugasannya. \u00a0\u00a0Serangan itu adalah sebagai amaran untuk mendiamkan media yang melihat, melaporkan dan merakamkan kebenaran. Serangan ke atas bangunan media antarabangsa itu memberikan sudut pandangan terbaik kepada dunia betapa kejamnya Israel terhadap manusia.\nPada 20 Mei lalu, gencatan senjata dipersetujui Israel tanpa syarat. Namun demikian, perjuangan masih belum berakhir kerana penduduk Palestin masih lagi dizalimi, kanak-kanak ditangkap dan jemaah di Masjid al-Aqsa diserbu. Sekali lagi tanda pagar diubah pada kali ini bagi menarik perhatian rakyat AS untuk mendesak senator dan ahli kongres agar bertindak serta menyekat bajet sokongan terhadap Israel. Pada kali ini, media sosial dibanjiri dengan tanda pagar #washingtondc, #america,\u00a0 #usa, #freepalestine, #texas, #bluewave, #diversity, #love, #campaign, #hope, #unitedstatesofamerica, #washingtonmonument, #newcongress, #ilhanomar, #capitolhill, #republicans, #equality, #ushouseofrepresentatives, #whitehouse dan #freedom. Ini ialah strategi jangka panjang perjuangan jihad media sosial rakyat Malaysia." "Ruang Udara dan Kedaulatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMedia tempatan pada 1 Jun 2021 melaporkan 16 pesawat tentera udara China, iaitu People\u2019s Liberation Army Air Force (PLAAF) memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia.\nSoalnya, apakah benar pesawat udara tersebut masuk ke ruang udara Malaysia? Jika benar, apakah kemasukan pesawat itu berlaku selepas mendapat izin daripada kerajaan kita? Jika izin telah diperoleh, apakah penerbangan pesawat itu mematuhi undang-undang dan prosedur keselamatan negara Malaysia?\nSetakat ini, kita masih menanti maklumat yang lebih terperinci daripada sumber rasmi kerajaan Malaysia. Selagi kita belum mendengar penjelasan yang lengkap, lebih wajar untuk kita tidak membuat sebarang spekulasi, agar tidak memburukkan keadaan atau menjejaskan hubungan baik antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan China.\nMengikut sumber Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pesawat PLAAF tersebut terdiri daripada jenis llyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20. Pesawat tersebut dikatakan terbang pada ketinggian 23 000 dan 27 000 kaki dengan kelajuan 290 knots.\nPada hari berikutnya (2 Jun 2021), Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) menyatakan akan mengemukakan satu nota bantahan diplomatik kepada kerajaan China berhubung insiden tersebut.\u00a0 Mengikut laporan media pada hari itu, Menteri Luar Negeri, Dato\u2019 Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata bahawa tindakan 16 pesawat PLAAF itu merupakan satu pencerobohan yang salah kepada ruang udara kita, sekali gus menggugat sovereignty (kedaulatan) Malaysia. Oleh itu, Wisma Putra akan segera memanggil Duta Besar China ke Malaysia untuk memberikan penjelasan berhubung dengan insiden penerbangan itu. Langkah tersebut merupakan satu amalan lazim Wisma Putra sejak dulu lagi.\nSebelum itu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad, membuat satu kenyataan rasmi bahawa TUDM telah memintas 16 pesawat PLAAF yang dikesan menceroboh Zon Maritim Malaysia (ZMM) Kota Kinabalu.\nKemasukan pesawat PLAAF itu dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM di Pusat Pertahanan Udara Sarawak pada pukul 11.53 pagi, terbang secara formasi taktikal pada jarak 60 batu nautika antara satu dengan lain.\nMengikut Ackbal lagi, arahan yang diberikan supaya pesawat PLAAF tersebut segera menghubungi kawalan trafik udara di Kota Kinabalu tidak dipatuhi yang menyebabkan TUDM melancarkan pesawat pemintas pada pukul 1.33 tengah hari bagi melakukan identifikasi secara visual.\nHishammuddin menegaskan bahawa walaupun Malaysia ada hubungan yang baik dengan semua negara (termasuk China), negara tidak akan sesekali berkompromi dalam aspek keselamatan dan kedaulatan.\nAkhbar Washington Post pada 2 Jun 2021 memetik Kedutaan China sebagai berkata bahawa pesawat udara mereka itu melakukan satu penerbangan rutin latihan (routine flight training) dan tidak menyasarkan mana-mana negara untuk dicerobohi. Jurucakap kedutaan itu menegaskan bahawa pesawat PLAAF itu tidak menceroboh ruang udara Malaysia, sebaliknya hanya melaksanakan hak kebebasan overflight di kawasan tersebut.\nDi Beijing, jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin, mengulangi penafian yang dibuat oleh Kedutaan China di Malaysia, sambil menegaskan bahawa pesawat PLAAF itu terbang di ruang udara perairan selatan Kepulauan Spratly, yang dipanggil Nansha oleh kerajaan China dan dianggap sebagai milik negara itu sepenuhnya. Kepulauan itu\u00a0 merupakan satu daripada kawasan perairan di mana banyak negara membuat tuntutan bertindih.\nTuntutan Kedaulatan yang Bertindih \nBeberapa buah negara, selain China telah membuat tuntutan kedaulatan bertindih ke atas perairan Laut China Selatan di kawasan ini sejak puluhan tahun lalu. Bagi China, tuntutannya diasaskan kepada sejarah. Lima buah negara lain di rantau ini, termasuklah Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam juga mendakwa mempunyai kedaulatan ke atas kawasan perairan tersebut. Disebabkan China telah membina beberapa pulau jadian di kawasan ini sejak beberapa tahun lalu untuk dijadikan pos ketenteraan luar mereka, situasi menjadi tegang dan ada kalanya mencemaskan.\nAda dua objektif utama kenapa banyak negara di rantau ini menuntut hak ke atas kawasan itu \u2013 pertama, kepentingan ekonomi, dan kedua, keperluan strategik. Kawasan perairan ini kaya dengan khazanah laut seperti ikan, minyak dan gas, serta menjadi kawasan laluan kapal yang paling sibuk di rantau ini.\nDari kaca mata Malaysia, kapal kawalan pantai (coastguard) dan kapal Tentera Laut China telah melakukan pencerobohan di kawasan perairan di Laut China Selatan di kawasan ini sebanyak 89 kali antara tahun 2016 hingga tahun 2019. \u00a0Kecewa dengan insiden pencerobohan itu, Malaysia telah menghantar nota bantahan diplomatik kepada China sebanyak enam kali, termasuk pada tahun 2017 setelah China mendakwa South Luconia Shoals ialah \u00a0milik mereka.\nMengikut kajian Khalid Zaka (https://www.straight.com/news/khalid-zaka-a-summary-of-south-china-sea-conflict), China menuntut hak ke atas 80 peratus kawasan perairan ini, manakala Vietnam mendakwa Kepulauan Paracel dan Kepulauan Spratley ialah milik mereka sepenuhnya.\nPada tahun 2002,\u00a0 ASEAN dan China telah menandatangani Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea yang bermatlamat untuk mewujudkan kerangka Kod Perilaku (Conduct of Conduct) bagi tujuan mencari penyelesaian secara damai tentang apa-apa juga pertikaian mengenai Laut China Selatan. Di bawah deklarasi ini, kedua-dua pihak berikrar akan mengamalkan sikap menahan diri daripada melakukan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan pertikaian dan menjejaskan kestabilan dan keamanan rantau ini (\u201cexercise self-restraint in the conduct of activities that would complicate or escalate disputes and affect peace and stability\u201c).\nDalam bahasa mudah, deklarasi ini menghendaki ASEAN dan China tidak melakukan apa-apa provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan dan permusuhan antara mereka.\nMaka itu, penting sekali kita pastikan apakah penerbangan PLAAF tempoh hari merupakan pencerobohan yang bertentangan dengan kehendak deklarasi ini atau pun sebaliknya.\nTuntutan Pelantar Benua \nDi bawah undang-undang antarabangsa, setiap pantai negara seperti Malaysia, Indonesia, Vietnam, Brunei, Filipina, dan China, mempunyai dua hak penting \u2013 hak ke atas perairan negara (territorial waters) dan hak ke atas pelantar benua (continental shelf).\nMengikut amalan biasa yang diiktiraf oleh undang-undang, kawasan perairan negara 12 batu nautika, manakala kejauhan pelantar benua bergantung pada bentuk fizikal pelantar itu di bawah permukaan air laut. Jika bentuk pelantar benua itu mendatar, negara boleh mendakwa hak ke atasnya hingga kejauhan maksimum \u00a0200 batu nautika. Jika bentuk pelantar benua itu tidak mendatar, tetapi \u00a0curam dan tidak jauh dari pantai, maka hak negara ke atasnya tidaklah begitu luas.\nDi bawah Konvensyen Undang-Undang Laut 1982, yang Malaysia ratifikasi pada 14 Oktober 1996, kawasan perairan negara kita ialah sejauh 12 batu nautika. Di luar kawasan itu, kita memiliki Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ). Dalam kawasan EEZ ini, kita ada hak menjalankan eksplorasi dan eksploitasi, memelihara dan mengurus sumber asli di dasar laut. Kita juga ada bidang kuasa ke atas pulau jadian (artifial islands) yang kita bina di dalam kawasan EEZ ini.\nHingga kini, Malaysia sudah pun meluluskan Territorial Sea Act 2012, Continental Shelf Act 1966,\u00a0 dan Exclusive Economic Zone Act 1984 untuk memastikan kita berada di landasan yang betul.\nMengikut portal berita https://www.forbes.com, beberapa pulau jadian dalam kawasan Kepulauan Spratly, iaitu Fiery Cross, Subi and Mischief Reefs sudah pun mempunyai landasan kapal terbang masing-masing yang panjang. Selain itu, ada juga dibina hangar\u00a0yang luas dan besar sehingga mampu menyimpan saiz pesawat yang terbang pada hari itu.\nTambah portal berita itu lagi, kekuatan TUDM kita pada masa ini, iaitu \u00a0sekitar 44 pesawat pejuang buatan British, Russia dan Amerika Syarikat amatlah kecil sekali jika dibandingkan dengan 1500 jet pejuang tentera udara China.\nAkhbar South China Morning Post mengesahkan bahawa China kini sudah pun membina tujuh pulau jadian di kawasan perairan tersebut\u00a0yang lengkap dengan landasan kapal terbang di tiga buah pulau. Kedudukan pulau jadian ini sekitar 280 batu nautika dari Luconia Shoals yang ditadbir oleh negara kita.\nMemetik https://www.scmp.com/news, portal berita dalam talian itu yang menyatakan bahawa pada hari tersebut, pesawat tentera udara China tidak memasuki ruang udara Malaysia.\u00a0 Kita tunggu dan lihat perkembangan selanjutnya.\n\u00a0\nDatuk Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia, Johor. Kini, beliau \u00a0konsultan bebas sepenuh masa." "Keputusan SPM Diumumkan pada 10 Jun 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\nKementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan menerusi kenyataan media pada hari ini bahawa keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 akan diumumkan pada 10 Jun 2021 (Khamis), mulai pukul 10.00 pagi.\nSehubungan dengan itu, calon sekolah dan calon persendirian boleh membuat semakan keputusan melalui dua kaedah seperti yang berikut:\ni. Secara dalam talian di portal Lembaga Peperiksaan http://lp.moe.gov.my untuk mendapatkan keputusan penuh; dan/atau\nii. Menerusi perkhidmatan SMS untuk mendapatkan ringkasan keputusan SPM 2020 dengan menaip SPMNoKPAngkaGiliran dan hantar ke 68886.\nPerkhidmatan ini akan diaktifkan mulai pukul 10.00 pagi, pada\u00c2\u00a0 10 Jun 2021 hingga pukul 6.00 petang, pada 17 Jun 2021.\nSementara itu, bagi calon sekolah yang tidak mempunyai capaian Internet, pihak sekolah akan mengenal pasti calon tersebut dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan. Bagi calon persendirian yang tidak mempunyai capaian Internet pula, pihak jabatan pendidikan negeri atau pejabat pendidikan daerah akan mengenal pasti calon persendirian tersebut dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan." "Memantapkan Pemasaran Penulis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Berakhirnya Kursus Pemasaran Penulis Sesi 1 secara dalam talian anjuran Bahagian Pemasaran dan Pengedaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Akademi DBP yang diadakan selama 3 hari. Kursus yang bermula pada jam 9.00 hingga 10.00 malam dibahagikan kepada tiga kelas. Kelas yang pertama diadakan pada 31 Mei, manakala kelas kedua pada 2 Jun dan kelas ketiga pula pada 4 Jun 2021. Panel pembimbing jemputan bagi kursus ini ialah Puan Ainon Mohd, Ahli Lembaga Pengelola DBP serta Pengasas dan Pengerusi PTS Media Group Sdn. Bhd. Manakala para peserta kursus ini terdiri daripada kalangan ahli akademik dan ilmuwan negara, golongan pengurusan, profesional serta editor. Kursus ini dibahagikan kepada tujuh kandungan modul. Menurut Puan Ainon Mohd, modul 1 menjelaskan tentang cara-cara memahami buku yang dipasarkan dalam era ekonomi digital dan ekonomi media sosial. Selain itu, modul 2 pula merujuk kaedah untuk memahami komponen strategi pemasaran personel berasaskan pengikut dan peminat. Melalui modul 3, Puan Ainon Mohd menjelaskan teknik-teknik memahami strategi penjenamaan personel, penempatan personel dan pemasaran personel secara terperinci dan mendalam. \u201cModul 4 turut menjelaskan tentang memahami strategi kandungan pemasaran serta memahami strategi corong pemasaran dan tiga fasa laluan pelanggan dalam modul 5 kursus ini,\u201d ujar Puan Ainon Mohd. Dalam modul 6, Puan Ainon Mohd turut mengupas tentang cara penulis dapat membangunkan banyak sumber pendapatannya. Bahkan, beliau turut menghuraikan cara edisi e-buku dihasilkan dan ciri-ciri e-buku yang laris dalam pemasaran dan jualan dalam modul 7. Menerusi kursus ini, Encik Azhar Mohamad Dora, Pengurus Besar Bahagian Pemasaran dan Pengedaran DBP turut mengajak penulis memasarkan buku mereka secara aktif melalui Program Pengarang Niaga untuk menambahkan pendapatan mereka. Syarat untuk menyertai program ini ialah:\n1. Penulis membuat permohonan untuk menyertai Program Pengarang Niaga.\n2. Buku (karya penulis) akan dibekalkan secara kirim jual atau belian tunai.\n3. Jika penulis memilih kirim jual, tempoh kredit selama 30 hari akan diberikan.\n4. Penulis boleh memulangkan buku yang tidak terjual dalam tempoh tersebut.\n5. Penulis menjelaskan bayaran bagi buku yang terjual. Kursus Pemasaran Penulis ini diadakan secara percuma serta sijil pengiktirafan oleh Akademi DBP turut diberikan kepada para peserta. Turut hadir dalam kursus ini ialah Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa, Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah DBP, M Azahari Edin, Ketua Editor Bahagian Buku Umum DBP\u00a0dan Encik Zulhilmi Baharudin, Pengurus Pemasaran DBP." "Agihan Peranti Dijangka Selesai pada Akhir September 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan pengagihan sebanyak 150 000 unit peranti yang merangkumi komputer riba dan sambungan data akan diselesaikan pada akhir September tahun ini. Hal itu diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, menerusi sidang media yang diadakan secara dalam talian pada hari ini.\nDaripada jumlah tersebut, hingga 5 Jun 2021 sebanyak 12 887 unit telah diagihkan ke 95 buah sekolah di 51 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD); sebanyak 40 290 unit pula akan selesai diagihkan selewat-lewatnya pada 12 Jun ini, manakala selebihnya, iaitu 96 823 unit agihan dijangka akan selesai pada akhir September 2021.\nProjek rintis peranti ini dikenali sebagai Inisiatif CERDIK yang bertujuan untuk menyediakan akses digital kepada kumpulan sasar, iaitu murid daripada keluarga yang disenaraikan dalam golongan pendapatan B40." "Sidang Media Khas Menteri Kanan Pendidikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSaksikan pada pukul 10.00 pagi ini, akan berlangsung Sidang Media Khas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin yang akan menyampaikan maklumat mutakhir berhubung dengan pendidikan negara. Siaran langsung tersebut akan turut disiarkan menerusi Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia." "PdPR Diteruskan hingga Julai 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMenteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, menerusi sidang media khasnya mengumumkan pengeoperasian sekolah terkini yang meliputi Takwim Persekolahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2021.\nMenurut Dr. Radzi sebaik-baik sahaja cuti pertengahan tahun tamat pada 13 Jun 2021 (bagi negeri kumpulan A, iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 14 Jun 2021 [bagi negeri kumplan B, iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, WP Labuan dan WP Putrajaya], pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan untuk tempoh 25 hari, iaitu hingga 16 Julai bagi negeri kumpulan A dan 17 Julai bagi negeri kumpulan B.\nSeminggu sebelum tamat cuti pertengahan penggal berakhir, Dr. Radzi menyatakan bahawa pihaknya akan memaklumkan kaedah pengeoperasian sekolah yang seterusnya. Tambah Dr. Radzi lagi, pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka hanya akan dilakukan dengan mengambil kira keputusan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).\nLayari Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menonton video penuh:\nhttps://www.facebook.com/DBPMalaysia/videos/1324178744643001" "PdPR: Mengikut Kesesuaian Murid dan Guru\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) perlulah mengikut kesesuaian murid dan guru.\n\u201cDalam melaksanakan PdPR, KPM percaya bahawa murid dan guru masing-masing ada\u00a0kekangan, khususnya yang berkait dengan peranti dan capaian Internet. Oleh itu, PdPR perlulah dilaksanakan mengikut kesesuaian masing-masing,\u201d ujar Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, menerusi sidang media khasnya pada pagi ini.\nOleh itu, bagi memantapkan PdPR, KPM juga dari semasa ke semasa akan meningkatkan kursus dalam kalangan guru terutamanya dalam konteks penambahbaikan PdPR dan aspek pendigitalan.\nKPM turut memberikan perhatian yang serius sekiranya terdapat murid dan guru yang terjejas akibat pandemik COVID-19 khususnya dari segi psikologi. Maka itu, KPM menyediakan sokongan yang meliputi kaunseling untuk guru dan murid, serta menerusi bimbingan rakan sebaya.\n\nSelain itu, Dr. Radzi turut memberikan jawapan berhubung dengan kebimbangan ibu bapa terhadap pelaksanaan kurikulum 2021. Menurutnya, sejak tahun lalu KPM telah melakukan penjajaran kurikulum yang mempunyai tiga komponen utama, iaitu Kandungan Asas yang meliputi pengetahuan, kemahiran dan nilai asas yang perlu dikuasai; Kandungan Tambahan (pengetahuan, kemahiran dan nilai yang menyokong kandungan asas); dan Kandungan Pelengkap (pengetahuan, kemahiran dan nilai yang melengkapkan kandungan asas).\nDalam hal ini, Dr. Radzi memaklumkan bahawa penekanan Kandungan Asas akan diberikan lebih tumpuan berbanding dengan Kandungan Tambahan dan Kandungan Pelengkap. Malah, Dr. Radzi percaya bahawa para guru lebih mengetahui tentang kebolehan dan keupayaan anak didik mereka kerana matlamat akhir penjajaran ini adalah untuk memastikan kemenjadian murid dapat dicapai." "Waspada dengan Penipuan Menggunakan Nama LHDNM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) pada hari ini mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan Macau Scam yang tidak berputus asa dalam memperdayakan mangsa.\nMenurut laporan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 556 kes yang melibatkan kerugian lebih RM15.26 juta berkaitan dengan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDNM telah disiasat bagi tempoh 1 Januari hingga 27 Mei 2021.\nDalam kenyataan tersebut, LHDNM menyatakan bahawa \u201cModus operasi yang digunakan oleh suspek adalah dengan cara menghubungi mangsa melalui telefon dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDNM. Suspek kemudiannya menyatakan bahawa syarikat atau perniagaan mangsa mempunyai tunggakan cukai yang perlu dilunaskan. Mangsa yang terkeliru dengan panggilan ini pada kebiasaannya akan membuat penafian, seterusnya panggilan tersebut akan disambungkan kepada individu yang menyamar sebagai pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM) atau agensi penguat kuasa yang memaksa mangsa untuk membuat laporan rasmi.\u201d\n\u201cMangsa seterusnya dikaitkan dengan kegiatan jenayah lain seperti pengubahan wang haram, pengedaran dadah dan sebagainya sehinggakan mangsa menjadi panik dan diminta menyerahkan maklumat perbankan mereka. Mangsa mula menyedari mereka ditipu apabila mendapati wang dalam akaun mereka telah dipindahkan ke dalam akaun bank pihak ketiga dan suspek tidak dapat dihubungi semula,\u201d demikian menurut kenyataan itu.\nSehubungan dengan itu, LHDNM menasihati orang awam agar lebih berhati-hati dan melakukan pengesahan terlebih dahulu dengan LHDNM jika menerima panggilan, e-mel mahupun surat yang meragukan dengan menghubungi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000/603-8911 1100 (luar negara), atau talian pegawai yang boleh disemak senarainya pada portal rasmi, www.hasil.gov.my, atau hadir ke cawangan LHDNM yang berdekatan.\nLHDNM juga menegaskan bahawa agensi tersebut tidak membincangkan hal berkaitan dengan percukaian melalui panggilan telefon peribadi. Sebarang permohonan maklumat daripada pembayar cukai atau arahan pembayaran cukai tertunggak akan dilakukan secara teratur melalui surat atau e-mel rasmi LHDNM yang menggunakan domain @hasil.gov.my." "SPM 2020: Pencapaian Terbaik dalam Tempoh Lima Tahun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Keputusan Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 mencatatkan pencapaian yang lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.80 berbanding dengan GPN 4.86 pada tahun 2019, sekali gus menjadikan keputusan SPM pada kali ini sebagai yang terbaik dalam tempoh lima tahun.\nMenteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, peratus calon yang layak menerima sijil SPM meningkat sebanyak 1.96 peratus, iaitu sebanyak 88.68 peratus (338 659 calon) berbanding 86.72 peratus (337 773 calon) pada tahun 2019.\nTambah beliau, sebanyak 1435 orang calon berkeperluan khas (CBK) telah menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2020. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 68.22 peratus CBK layak dianugerahkan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini berbanding dengan 61.34 peratus pada tahun 2019 \u2012 peningkatan sebanyak 6.88 peratus.\n\u201cPencapaian calon di bandar dan luar bandar turut mencatatkan peningkatan. Namun begitu, pencapaian calon di luar bandar menunjukkan peningkatan lebih tinggi berbanding dengan calon di bandar. Hal ini menyebabkan jurang pencapaian antara calon bandar dengan luar bandar mengecil kepada 0.38 pada tahun 2020 berbanding 0.44 pada tahun 2019,\u201d kata beliau pada Sidang Media Keputusan Peperiksaan SPM Tahun 2020.\nPada tahun 2020, sebanyak 381 894 orang calon telah menduduki peperiksaan SPM. Daripada jumlah itu, sebanyak 9411 orang calon (2.46 peratus) memperoleh semua A, 78 731 orang calon (20.62 peratus) mendapat sekurang-kurangnya kepujian, 146 447 orang calon sekurang-kurangnya lulus (38.35 peratus) manakala 121 496 orang calon (31.81 peratus) memperoleh sekurang-kurangnya gagal dalam satu mata pelajaran.\nSemakan keputusan SPM 2020 boleh dibuat mulai 10 Jun 2021 (Khamis) tepat jam 10.00 pagi di laman sesawang berikut: https://myresult1.moe.gov.my atau https://myresult2.moe.gov.my.\nSementara itu, slip keputusan rasmi SPM 2020 yang memaparkan Jata Negara dan kod QR boleh diperoleh bermula pada 14 Jun 2021 melalui pautan: https://myresult3.moe.gov.my." "Bahasa Melayu Bukan Bahasa Kelas Kedua \u2013 Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Tahun 2022 menjadi penanda aras dalam usaha mengangkat taraf bahasa Melayu menjadi bahasa ASEAN dan bahasa antarabangsa apabila berlangsungnya Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang bertemakan \u201cMengangkat Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN dan Antarabangsa\u201d pada 22 Mei hingga 24 Mei 2022, di Wisma DBP, Kuala Lumpur.\nSimposium yang menjadi pentas untuk menyampaikan cadangan dan pandangan yang berkaitan dengan usaha memartabatkan kedudukan bahasa Melayu dan menyemarakkan penggunaan bahasa kebangsaan ini menampilkan barisan pembentang dari dalam dan luar negara. Sidang 11 yang berlangsung pada hari kedua menampilkan tokoh bahasa dan sastera dari negara luar, iaitu Dr. Victor A. Pogadev (Rusia) dan Dr. Yanhar Jamaluddin (Indonesia). Dari Malaysia pula ditampilkan tokoh akademik dan pentadbir yang cukup dikenali, iaitu Datuk Seri Dr. Zaini Ujang dan Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah.\nMelalui tajuk \u201cMemartabatkan Bahasa Melayu Menerusi Sastera Melayu dan Kerangka Ecoshift untuk Pelestarian Alam Sekitar\u201d, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang selaku Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air menyatakan pandangannya bahawa bahasa Melayu berpotensi untuk disemarakkan sebagai bahasa ilmu dan wahana komunikasi utama, khususnya di Alam Melayu. Sebagai tokoh akademik yang berlatarkan pendidikan dalam bidang sains, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang mengakui bahawa pada ketika ini peranan bahasa Melayu tidak begitu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan tidak selari dengan perkembangannya sebagai bahasa ilmu pada peringkat pengajian tinggi.\nKeadaan ini banyak dipengaruhi oleh pembuat dasar serta pengamal sains dan kejuruteraan alam sekitar yang masih menggunakan bahasa Inggeris secara meluas dari segi wahana dokumen kontrak. Selain itu, penggunaan bahasa Melayu hanya berlaku dalam urusan pentadbiran kerajaan dan sistem pendidikan kebangsaan, manakala penggunaannya dalam kalangan bukan Melayu masih tidak meluas, khususnya dalam bidang perniagaan.\nSelaku tokoh yang terlibat dalam urusan pentadbiran negara, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang menyatakan bahawa inisiatif bersifat sinergi dalam usaha pengembangan bahasa Melayu di Malaysia tidak diadakan dengan negara jiran, khususnya Indonesia dan Brunei. Maka itu, beliau mencadangkan pelibatan semua pihak secara menyeluruh, yang merangkumi pemakluman, perundingan, penyertaan, kerjasama dan pemerkasaan.\nTokoh akademik seterusnya, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah pula lebih mengutamakan penekanan nilai-nilai baik yang sememangnya ada dalam bahasa Melayu. \u201cDengan adanya kesedaran bahawa dalam bahasa Melayu itu memiliki nilai yang baik, maka kita harus menghargai bahasa itu dengan memartabatkan kedudukannya dan menyemarakkan penggunaannya. Hal ini sama seperti kita menyedari nilai baik yang ada pada agama Islam, yang menjadikan kita menjulang agama tersebut kerana kita tahu nilai tinggi yang ada pada agama itu. Jadi, ada nilai baik yang akan kita peroleh apabila mempelajari dan menggunakan bahasa Melayu. Nilai ini juga tidak menjadikan kita terkebelakang apabila belajar menggunakan bahasa Melayu\u201d. Demikian ulasan Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah, selaku pembentang kedua dalam Sidang 11.\nSelaku peneraju UUM, beliau berkata, \u201cUUM akan menawarkan program pengajian akademik yang memberikan penekanan terhadap penggunaan bahasa Melayu. Hal ini bermakna, pengajaran dan pembelajaran akan berlangsung dalam bahasa Melayu. Berkaitan dengan hal ini, pelajar juga tidak seharusnya berasakan diri mereka bertaraf kelas kedua apabila mengikuti program pengajian yang disampaikan menggunakan bahasa Melayu.\u201d\nTambah Profesor Dr. Haim Hilman, bahasa yang menjadi pertuturan setiap hari itulah yang seharusnya dipelajari dan dijadikan bahasa perantara dalam pengajian pada peringkat universiti. Setiap rakyat Malaysia seharusnya menguasai bahasa Melayu, namun penguasaan terhadap bahasa lain juga digalakkan sebagai nilai tambah diri untuk mencapai kemajuan. Yang penting, usaha mendalami ilmu itu dilakukan dalam bahasa Melayu, yakni bahasa yang dituturkan oleh rakyat di Malaysia.\nSementara itu, Dr. Victor A. Pogadev dari Rusia dengan tajuk kertas kerjanya, iaitu \u201cBahasa Melayu Merentas Segala Sempadan: Kes Rusia\u201d, membentangkan usaha pendokumentasian dan penterjemahan yang dilakukannya di Rusia. Beliau membuka pembentangannya dengan menyatakan bahawa karya ilmiah pertama dalam bahasa Melayu telah muncul di Rusia pada abad ke-18, iaitu kamus komparatif yang diterbitkan atas arahan Ratu Catherine Agung. Seterusnya, sejak tahun 1990-an, bahasa Melayu diperkenalkan di Institut Sains Kemanusiaan, Institut Pelajaran Timur Amali dan Institut Ketimuran (swasta). Tambah Dr. Victor A. Pogadev, kini terdapat sebanyak 62 orang mahasiswa di institut berkenaan yang menawarkan diri untuk mengikuti pembelajaran dalam bahasa Melayu.\nDr. Victor juga berkongsi berita baik dengan menyatakan bahawa para sarjana Rusia berjaya menerbitkan karya ilmiah yang mendapat sambutan baik dalam kalangan para ilmuan antarabangsa. Karya ilmiah yang dimaksudkan itu ialah Tatabahasa Indonesia (1972), Kamus Besar Bahasa Indonesia (1990), Kamus Besar Bahasa Rusia-Bahasa Malaysia (1986), Sejarah Kesusasteraan Melayu (1983), Sejarah Malaysia (2010) dan Kamus Besar Melayu-Rusia (2014).\nYang menariknya, Dr. Victor turut menyelitkan pantun dalam pembentangannya apabila membuat perbandingan antara pantun Melayu dengan pantun Rusia. Secara tidak langsung, hal ini menunjukkan bahawa perhatian juga ditumpukan terhadap kajian sastera rakyat Melayu, terutamanya pantun. Begitu juga dengan penterjemahan beberapa karya sastera Melayu ke dalam bahasa Rusia seperti novel Usman Awang, iaitu Tulang-tulang Berserakan dan novel Anwar Ridhwan, Naratif Ogonshoto.\nYang turut diselitkan dalam pembentangannya ialah hal yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di Rusia yang cukup aktif dan mencakupi pelbagai aspek seperti penyelidikan bahasa, penyusunan kamus, penyelidikan sastera tradisional seperti pantun dan syair, dan penterjemahan karya sastera. Mengakhiri pembentangannya, Dr. Victor mengakui bahawa hubungan antara Malaysia dengan Rusia begitu rapat kerana berlakunya pengaksesan bahan pembelajaran dalam bahasa Melayu di Malaysia oleh pelajar di Rusia.\nMembuka kata-katanya dengan ungkapan \u201ctabik\u201d, Dr. Yanhar Jamaluddin yang mewakili Universiti Islam Sumatera Utara (UISU), Indonesia, menceritakan usaha \u201cMembumikan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di Indonesia\u201d. Berkaitan dengan ungkapan \u201ctabik\u201d itu, Dr. Yanhar Jamaluddin menjelaskan bahawa sapaan yang menggunakan \u201ctabik\u201d akan menimbulkan rasa gembira dan bahagia, selain melahirkan rasa saling menghormati. Kata beliau, \u201cAda kekuatan, kekerabatan, dan kebersamaan di sebalik ungkapan tabik.\u201d\nBerkaitan dengan usaha membumikan bahasa dan kesusasteraan Melayu, Dr. Yanhar Jamaluddin mengakui bahawa pihak UISU begitu bersemangat untuk membumikan bahasa Melayu di Indonesia. Lantaran itu, beliau menceritakan beberapa \u201caroma Melayu\u201d yang terdapat di UISU, antaranya termasuklah penerbitan buku dalam bahasa Melayu, penganjuran seminar pantun, dan mengangkat kearifan daerah yang didokumentasikan dalam bahasa Melayu. Tambah beliau, walaupun komunikasi dan pembelajaran di UISU kadangkala perlu berlangsung dalam bahasa asing, namun pertuturan dalam bahasa Melayu tetap diutamakan dalam kalangan pelajar di situ. Menutup pembentangannya, Dr. Yanhar Jamaluddin menyatakan bahawa beberapa negara di ASEAN mempunyai badan bahasanya, maka badan itu harus berperanan untuk mengikat masyarakat serumpun dalam satu bahasa, iaitu bahasa Melayu.\nBerlangsung selama satu jam setengah, Sidang 11 memperlihatkan beberapa perkara seperti keyakinan setiap individu untuk menggunakan bahasa Melayu pada peringkat negara dan antarabangsa, keberkesanan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi terutama di beberapa kementerian dan sektor kerajaan dan potensi bahasa Melayu di pentas antarabangsa. Yang paling penting, seseorang itu perlu membuang rasa malu untuk berbahasa Melayu dan perlu menyedari bahawa simposium ini memberikan impak yang besar kepada anak muda dalam penggunaan bahasa Melayu yang betul." "Calon SPM 2020 Kuasai KBAT\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKeputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 bukan sahaja menyaksikan pencapaian Gred Purata Nasional (GPN) yang lebih baik berbanding dengan tahun sebelumnya, malah keupayaan calon SPM menguasai tahap minimum Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) juga mendapat pujian banyak pihak apabila menunjukkan peningkatan sebanyak 1.47 peratus, \u00c2\u00a0iaitu 88.17 peratus calon telah menguasainya pada tahun 2020 berbanding dengan 86.70 peratus pada tahun 2019.\nBerdasarkan Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM Tahun 2020 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) pada hari ini, sebanyak 19.36 peratus calon SPM tahun 2020 dikategorikan sebagai cemerlang dalam menjawab soalan KBAT; sebanyak 31.75 peratus calon berpotensi; manakala sebanyak 48.89 peratus pula calon yang baik.\nDaripada jumlah tersebut, penguasaan tahap minimum KBAT SPM 2020 mengikut kemahiran turut menyaksikan peningkatan, iaitu mengaplikasi (89.63 peratus); menilai 90.50 peratus: dan mencipta 95.04 peratus. Hanya tahap penguasaan menganalisis yang menyaksikan sedikit penurunan, iaitu sebanyak 3.03 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya. KPM juga mendapati sebanyak 42.26 peratus calon yang mempunyai penguasaan baik KBAT SPM 2020 dalam mengaplikasi; sebanyak 38.68 peratus menganalisis; sejumlah 52.05 peratus menilai; dan sebanyak 48.22 peratus mencipta.\nPenguasaan KBAT dilaporkan dengan merujuk keupayaan calon menjawab soalan peperiksaan yang mengandungi elemen KBAT. Tahap penguasaan minimum KBAT mengambil kira jawapan berkualiti tinggi, sederhana dan rendah. Untuk rekod, KBAT mula diperkenalkan dalam kertas peperiksaan SPM sejak tahun 2014. Soalan KBAT menguji keupayaan calon menggunakan kemahiran mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta untuk menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu." "Jemaah Menteri Darurat: Dari Perspektif Perlembagaan Persekutuan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\nDarurat yang diproklamasikan pada 11 Januari 2021 pada hakikatnya tidak menggantung sidang parlimen. Menurut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) hendaklah memanggil parlimen bersidang dan tidak membiarkan enam bulan berlalu \u2013 \u00a0antara persidangan akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan bagi mesyuarat pertamanya dalam penggal berikutnya.\u00a0 Jika tarikh bagi proses di atas ingin ditangguhkan, maka suatu ordinan bermaksud sedemikian perlulah dimasyhurkan oleh YDPA.\nDalam konteks di atas, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 di bawah Seksyen 12 hanya menggantung had tempoh untuk parlimen dipanggil kembali bersidang. Persidangan parlimen boleh dipanggil pada tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh YDPA. Oleh kerana belum ada ordinan digubal untuk menggantung Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan, maka Baginda masih perlu bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau seorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri. Perkara 40(1) berbunyi, \u201cPada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh perlembagaan ini\u201d. Maka itu, parlimen masih boleh dipanggil bersidang dalam tempoh darurat mengikut peruntukan perlembagaan yang sedia ada, malah tiada peruntukan ordinan yang sedang berkuat kuasa menghalang parlimen daripada dibubarkan.\nTidak dinafikan apabila ketua parti dipanggil menghadap YDPA, baginda boleh meneliti setiap pandangan para pemimpin politik serta bertukar-tukar pandangan dalam banyak isu penting yang menjadi perhatian rakyat. Majlis itu juga boleh dimanfaatkan oleh kedua-dua belah pihak bagi pelbagai maksud. Pertama, sebagai forum untuk menyampaikan kegelisahan dan pandangan rakyat khususnya sejak parlimen tidak bersidang mengikut jadual yang sepatutnya. Kedua, Baginda boleh menilai sendiri cadangan para pemimpin di luar daripada kerajaan tentang teguran dan rasa tidak puas hati terhadap polisi dan pelaksanaan dasar kerajaan. Ketiga, Baginda boleh menimbang cadangan para memimpin politik tentang langkah yang perlu untuk menangani penularan pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara. Keempat, Baginda boleh mendapatkan respons tentang penubuhan Jemaah Menteri darurat yang dicadangkan oleh beberapa pihak. Kelima, YDPA boleh mendapatkan pandangan tentang tuntutan sebahagian rakyat mahupun Baginda bertindak tanpa nasihat Jemaah Menteri untuk memanggil sidang parlimen.\nTidak dinafikan juga bahawa perbahasan paling hangat ketika rencana ini ditulis adalah cadangan penubuhan Jemaah Menteri darurat. Hal ini disebut sebagai Jemaah Menteri darurat kerana keabsahannya bergantung pada sumber kuasa daripada ordinan darurat. Jemaah Menteri pimpinan Perdana Menteri tidak sesuai dikategorikan sebagai Jemaah Menteri darurat kerana keabsahannya masih dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan yang tidak memerlukan sumber kuasa ordinan. Maka itu, kebarangkalian Jemaah Menteri darurat berlaku jika tempoh darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos 2021 masih menjadi teka-teki. Jika diikuti perbahasan banyak pihak, terdapat tiga bentuk Jemaah Menteri darurat yang dicadangkan. Pertama, terdiri daripada semua pemimpin parti politik; kedua, terdiri daripada sejumlah ahli parlimen yang mewakili semua parti politik; dan ketiga, sebuah jawatankuasa seperti MAGERAN. Kesemua bentuk di atas bermatlamat untuk menggantikan fungsi Jemaah Menteri yang sedia ada dan ditubuhkan di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.\nWalau bagaimanapun, daripada ketiga-tiga cadangan di atas, hanya cadangan kedua yang boleh berlaku tanpa ordinan darurat sekiranya keanggotaan sedemikian dilantik oleh YDPA mengikut nasihat Perdana Menteri atau setelah parlimen dibubarkan. Sementara itu, bentuk pertama dan ketiga memerlukan ordinan darurat kerana keanggotaan Jemaah Menteri darurat itu bercanggah dengan peruntukan Perkara 43 dan Perkara 40(1A) Perlembagaan Persekutuan. Pelantikan ahli Jemaah Menteri selain Perdana Menteri adalah mengikut nasihat Perdana Menteri, begitu juga dengan syarat pelantikan ahli Jemaah Menteri hendaklah dalam kalangan ahli parlimen. Selagi peruntukan tersebut tidak dipinda melalui ordinan, atau pindaan perlembagaan di bawah Perkara 159, YDPA tidak boleh menentukan sendiri ahli Jemaah Menteri mengikut budi bicara Baginda. Dalam keadaan sekarang, untuk membolehkan fungsi Jemaah Menteri dilaksanakan, ordinan boleh digubal setelah tujuan darurat pada hari ini diperluaskan melalui proklamasi baharu oleh YDPA.\nMana-mana bentuk Jemaah Menteri yang dicadangkan di atas, tidak semestinya hanya berlaku dengan pertukaran Perdana Menteri yang ada pada hari ini. Seperti yang dijelaskan, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin \u00a0boleh sahaja merombak Jemaah Menteri yang sedia ada untuk menerima usul yang pernah dikemukakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Bahkan jika disoroti suatu ketika dahulu, Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tuan Guru Dato\u2019 Seri Abdul Hadi Awang pernah mengemukakan cadangan penubuhan kerajaan uniti, namun begitu komposisinya tidaklah seluas Jemaah Menteri darurat yang dicadangkan di atas. Apa-apa pun yang mungkin berlaku, bentuk Jemaah Menteri darurat yang kedua itu memerlukan kehendak politik Tan Sri Muhyiddin. Pada sisi yang lain, hal itu \u00a0boleh dicapai selepas YDPA membubarkan parlimen jika ternyata Tan Sri Muhyiddin kehilangan undi percaya.\nSepanjang tempoh darurat ini, YDPA boleh menggubal ordinan di bawah Perkara 150(2B) tanpa membentangkannya terlebih dahulu di parlimen. Hal ini juga bermakna bahawa Baginda boleh bertindak sedemikian tanpa terikat dengan nasihat eksekutif atau Jemaah Menteri. Walau bagaimanapun, ordinan itu hendaklah tersyarat bagi mencapai maksud darurat yang diisytiharkan mengikut budi bicara Baginda di bawah Perkara 150. Prinsip di atas mudah difahami kerana proklamasi dan ordinan yang diisytiharkan oleh YDPA akan dibentangkan sebaik-baik sahaja parlimen bersidang. Kedua-duanya tertakluk kepada resolusi yang diluluskan kemudiannya oleh kedua-dua majlis parlimen. Oleh itu, parlimen perlu dipanggil bersidang untuk menimbangkan proklamasi dan ordinan darurat yang dibuat oleh YDPA, tanpa menjejaskan kuasa budi bicara Baginda untuk mengeluarkan proklamasi dan memasyhurkan apa-apa ordinan baharu di bawah Fasal (2B).\n\nDalam situasi di atas, YDPA tidak semudah-mudahnya melaksanakan budi bicara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 150. Sudah pasti sebarang tindakan yang bakal diambil akan diperhalusi dan mengikut amalannya, iaitu Baginda akan berunding dengan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu.\u00a0 Itulah amalan yang menepati semangat prinsip kedaulatan raja dan keluhuran perlembagaan persekutuan.\n\u00a0Pada hakikatnya, YDPA dalam tempoh darurat mempunyai kuasa di luar amalan biasa, namun begitu kuasa sedemikian hanya boleh diwujudkan melalui proklamasi dan ordinan serta boleh disemak melalui resolusi majlis parlimen. Syarat tersebut penting bagi maksud tadbir urus yang baik. Jika dilihat punca sebenar polemik pada hari ini, maka disarankan agar parlimen dipanggil bersidang kembali agar semua pihak dapat bersama-sama menjaga amanah yang diberikan.\n\u00a0\nDatuk Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain\nialah Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik,\nUniversiti Malaysia Pahang\n(ITKAS)." "\u201cSkala Gred SPM\u201c Bukan Milik Lembaga Peperiksaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui satu kenyataan media menafikan hantaran di Facebook milik MamaMia Mia yang tular di media sosial pada 11 Jun 2021 mengenai Skala Gred Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dikatakan milik Lembaga Peperiksaan, KPM.\nMenurut KPM, hantaran dengan keterangan \u201cPatut aku pelik budak-budak sekarang berderet A\u201d dan tanda pagar \u201c#bilasekolahdipolitikkan\u201d seolah-olah menggambarkan gred pemarkahan sebenar SPM 2020 dan boleh mengelirukan orang ramai, terutamanya ibu bapa dan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020. Tambah KPM, hantaran tersebut mencemarkan imej, kewibawaan dan kredibiliti Lembaga Peperiksaan sebagai badan pentaksiran negara dan menggugat ketenteraman awam.\nBerikutan dengan penularan hantaran tersebut, Lembaga Peperiksaan telah membuat laporan polis pada jam 10.31 malam, 11 Jun 2021, serta laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan lanjut." "Pemasaran Buku: Ubah Definisi Penulis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan oleh kerajaan pada 1 hingga 14 Jun 2021 tidak menghalang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjalankan aktiviti yang berkaitan dengan pemasaran bagi meningkatkan permintaan terhadap buku yang diterbitkan. Bagi DBP, usaha mempromosikan buku amat penting dalam menggalakkan masyarakat membeli bahan yang bermanfaat untuk kepentingan pendidikan dan meningkatkan budaya membaca. Pembacaan dapat menambah kosa kata, merangsang minda, menguatkan daya ingatan, meningkatkan kemahiran berfkir dan memberikan ketenangan emosi kepada pembaca. Tambahan pula, medium digital yang ada di hujung jari mereka membolehkan masyarakat membuat pesanan secara dalam talian. Misalnya untuk penerbitan buku DBP, pesanan boleh dibuat menerusi portal DBPNiaga.\nMelihat peri pentingnya pemasaran buku, Puan Ainon Mohd, Ahli Lembaga Pengelola DBP serta Pengasas dan Pengerusi PTS Media Group Sdn. Bhd.\u00a0terus bersemangat memberikan panduan kepada para penulis dalam membantu memasarkan karya yang dihasilkan oleh mereka melalui Kursus Pemasaran Penulis Sesi Kedua yang diadakan pada 7 Jun 2021, 8 Jun 2021 dan 11 Jun 2021 dari pukul 9.00 malam hingga 10.00 malam. Kursus yang diadakan melalui aplikasi Zoom selama tiga hari anjuran Bahagian Pemasaran dan Pengedaran dengan kerjasama Akademi DBP dan Jabatan Penerbitan DBP itu mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan penulis.\nKursus yang diadakan untuk sesi kedua ini lebih tertumpu terhadap usaha memasarkan buku kanak-kanak dan remaja. Menurut Puan Ainon Mohd, memasarkan buku kanak-kanak memerlukan pendekatan yang berbeza berbanding dengan memasarkan buku untuk golongan dewasa. Hal ini disebabkan penggunanya ialah kanak-kanak dan pembelinya ialah ibu bapa atau orang dewasa. Walaupun demikian, kedua-dua golongan ini perlu didekati melalui pendekatan promosi yang berkesan.\nPada masa ini, bakat menjadi nilai ekonomi yang amat penting. Bakat jika dimanfaatkan dapat melariskan produk yang akan dijual. Sebelum menjual produk, perkara yang harus dilaksanakan oleh penulis adalah dengan membangunkan jenama peribadi.\nMelalui jenama yang dibina oleh penulis, Puan Ainon Mohd mengesyorkan penulis melaksanakan strategi pemasaran buku seperti yang berikut:\nMelalui kursus ini, Puan Ainon sangat menitikberatkan bakat yang ada pada penulis.\n\u201cJika ada bakat tetapi tidak dikenali, tidak jalan. Penulis perlu lihat penulis sebagai pemilik bakat dan bukan penulis. Penulis jangan sekadar menulis. Katakan bahawa \u2018Saya Pemilik Bakat\u2019. Oleh itu, penulis perlu ubah definisi penulis dalam konteks pemasaran\u201d.\nPesan yang amat bermakna yang ditinggalkan oleh Puan Ainon menerusi kursus itu telah membakar semangat para penulis untuk turut serta dalam membantu penerbit seperti DBP memasarkan buku. Antara penulis buku kanak-kanak dan remaja yang hadir dalam kursus tersebut ialah Raja Azman Raja Awang, penulis buku Siri Cantiknya Gigi: Kacip, Geraham dan Taring, dan Fon-Miau; Lailah Elok, penulis Okong Srikandi Sungai dan Suha Dwi Changi, Mohd Khairul Azman Ismail, penulis Sang Gagak dan Seri Merak, Sayangku Apai, Siapa Menang? dan Umar dan Atuk; dan Nor Azhar Ishak, penulis Indahnya Pulau Sipadan, Wah, Sedapnya Ayam!, dan Antologi Drama Kanak-kanak: Farquhar dengan Kala Jengking." "KPM Tambah Baik Pelaksanaan SPM 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pendidikan (KPM) akan menambah baik sebarang kelompangan atau kekurangan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 bagi memastikan kelancaran peperiksaan itu untuk calon SPM 2021.\nMenurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, pelbagai perkara dipelajari oleh KPM ketika pelaksanaan SPM 2020 termasuklah dari segi prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya.\n\u201cKPM akan meneliti setiap proses bagi memastikan proses ini terus ditambah baik kerana ini merupakan proses penambahbaikan yang berterusan. Selain itu, KPM juga akan mengkaji sebarang jurang yang wujud dan boleh dirapatkan. Hal ini akan diambil kira untuk SPM 2021,\u201c ujar beliau pada program Soal Rakyat Khas bertajuk \u201cCabaran SPM dalam Era Pandemik\u201c.\nRadzi berkata, SPM 2020 menjadi penanda aras apabila banyak pembaharuan dilakukan seiring situasi pandemik COVID-19 yang melanda negara bahkan buat kali pertama dalam sejarah negara, sebanyak 83 kertas peperiksaan kecuali mata pelajaran Pendidikan Seni Visual disemak secara dalam talian.\n\u201cDi samping itu, KPM turut melaksanakan kaedah pemarkahan secara dalam talian untuk mengehadkan pergerakan dengan lebih lima juta skrip kertas jawapan peperiksaan yang perlu diimbas satu persatu. Hal ini juga memudahkan proses penyemakan dan pemarkahan kerana kita tidak lagi perlu mencari kertas tersebut di bilik kebal atau sebagainya, sebaliknya hanya perlu mencari secara dalam talian,\u201c jelas Radzi.\nBeliau turut berkata, tempoh pengeluaran keputusan SPM dipendekkan dari 90 hari kepada 76 hari selepas tarikh akhir peperiksaan dan calon SPM juga tidak lagi perlu mengambil keputusan di sekolah, sebaliknya boleh dibuat secara dalam talian. Slip keputusan SPM juga boleh dimuat turun secara dalam talian, manakala sijil SPM boleh diperoleh dalam tempoh sebulan berbanding lima hingga enam bulan sebelum ini.\n\u201cGuru bagi kelas yang bakal menghadapi peperiksaan akan diberikan keutamaan menerima vaksin COVID-19 sekiranya situasi pandemik semakin pulih dan terdapat keperluan menghadiri pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka,\u201d ujar Radzi pada program bual bicara tersebut." "Pelajar Hebat KBAT\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada tanggal 10 Jun 2021 mencatatkan sejarah baharu dalam sistem pendidikan negara apabila pencapaian keseluruhan Gred Purata Nasional (GPN) calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2020 menunjukkan peningkatan sebanyak 0.06 berbanding pada tahun 2019, dengan nilai 4.80 berbanding dengan 4.86 pada tahun 2019. Hal ini pastinya menjadi sesuatu yang ajaib dalam keadaan negara berhadapan dengan ancaman pandemik COVID-19 yang menyebabkan institusi pendidikan seperti sekolah, makmal, kolej, pusat pengajian dan universiti ditutup.\nDalam memastikan usaha penyebaran ilmu bersifat lestari, praktikal dan fleksibel, kerajaan telah menukar haluan proses pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) kepada budaya digitalisasi sistem pendidikan yang dikenali sebagai pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Calon peperiksaan awam seperti SPM juga tidak terkecuali daripada menerima tempias akibat situasi di luar kawalan ini. Impaknya, amalan digitalisasi yang mula dipraktikkan ini secara tidak langsung telah membawa kesan positif terhadap gaya belajar dan budaya berfikir calon SPM ini.\nProses pemindaan ilmu dan kemahiran digitalisasi dalam kalangan murid ini memerlukan penguasaan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Perlu difahami bahawa maklumat atau informasi (bersifat tersurat) yang diterima tidak lagi dibuat secara bersemuka sebaliknya memerlukan kemampuan kognitif untuk memperoleh pengetahuan, memahami, mengaplikasi dan kemudiannya maklumat tersebut perlu dianalisis, disintesiskan dan pada akhirnya mencapai aras penciptaan maklumat atau output baharu (bersifat tersirat).\nProses PdPR yang dilaksanakan di seluruh Malaysia secara dalam talian memerlukan keupayaan calon SPM untuk berfikir secara berterusan menerusi pengawalan tenaga dalam minda bagi memastikan mereka dapat belajar dan mengikuti pelbagai aktiviti pembelajaran secara dalam talian dengan baik. Hal ini dikatakan demikian kerana calon SPM akan berfikir untuk membina pemahaman tentang perkara yang berlaku dalam minda dan mencari jawapan penyelesaian atau mengambil sesuatu keputusan atau tindakan semasa menduduki peperiksaan SPM tahun 2020. Buktinya, calon SPM ini didapati berupaya menjawab soalan KBAT (kemahiran mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta) yang disisipkan dalam kertas peperiksaan SPM tahun 2020 sebagaimana yang dipaparkan oleh Rajah 1.\nPerkataan fikir (think) telah diimbuhkan bagi melahirkan istilah seperti berfikir, memikir, terfikir, pemikir atau pemikiran, yang disesuaikan penggunaannya mengikut konteks ayat yang digunakan. Pemikiran difahami sebagai konsep penerimaan umum bagi satu kesepaduan idea dalam kehidupan di samping menyenaraikan kandungan pemikiran yang terdiri daripada empat kategori, iaitu pemikiran yang mempunyai bentuk yang nyata; pemikiran simbolik yang didasari makna sesuatu perkara; pemikiran semantik yang melibatkan makna perkataan; dan pemikiran tingkah laku yang tidak melibatkan lisan sebaliknya berdasarkan maklumat bahasa badan atau perbuatan seseorang.\nDalam konteks peperiksaan SPM ini, KBAT merujuk proses pencarian makna dalam minda calon dengan mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai, serta berdaya kreatif bagi mencerna idea, membuat penaakulan, menimbangkan keputusan, mencari penyelesaian masalah, membuat refleksi, berinovasi dan mampu mereka cipta. Penguasaan KBAT calon SPM dilihat terjelma apabila mereka mampu mendapatkan maklumat baharu, menyimpan dalam memori dan menyusun, mengaitkan dengan pengetahuan sedia ada, dan menjana maklumat untuk mencapai sesuatu tujuan atau menyelesaikan situasi rumit yang dikemukakan menerusi soalan dalam kertas peperiksaan.\nUsaha menyuburkan budaya kecemerlangan ilmu menerusi penerapan KBAT juga membuahkan hasil apabila Laporan Analisis Keputusan SPM Tahun 2020, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), menunjukkan adanya peningkatan dalam kualiti jawapan calon SPM tahun 2020. Tahap minimum penguasaan KBAT murid ini telah dikategorikan kepada sangat rendah, rendah, sederhana dan tinggi. Secara keseluruhannya, 88.17 peratus calon SPM tahun 2020 telah menguasai tahap minimum KBAT berbanding pada tahun 2019 dengan nilaian 86.70 peratus. Calon SPM ini diandaikan sebagai individu yang hebat menguasai KBAT kerana berupaya menginterprestasi, menganalisis dan memanipulasikan maklumat yang diperoleh ketika melengkapkan jawapan bagi soalan yang dikemukakan dalam peperiksaan SPM.\u00a0 Calon SPM tahun 2020 juga didapati berupaya untuk mempelajari dan menguasai kemahiran berfikir yang asas (kemahiran mencirikan, membanding dan membeza, serta mengumpul dan mengelas) sebelum mempelajari kemahiran berfikir yang lebih kompleks iaitu KBAT. Rajah 2 pula menunjukkan pengkategorian bagi statistik kualiti jawapan murid dalam soalan KBAT.\nPeningkatan penguasaan KBAT bagi calon SPM tahun 2020 ini dilihat amat sejajar dengan pengaplikasian Taksonomi Pembelajaran Domain Kognitif Bloom Baharu (Anderson et al., 2001) dan Model Kemahiran Berfikir Pusat Perkembangan Kurikulum KPM (2002) yang dijadikan sebagai landasan pengukuran kebolehan kognitif dan kemahiran berfikir murid. Taksonomi Pembelajaran Domain Kognitif Bloom Baharu ini memberikan perhatian pada usaha menjadikan kemahiran berfikir sebagai kemahiran seseorang pelajar menggunakan otak (domain kognitif) dan hati (domain afektif) sebagai landasan kepada keyakinan atau tindakan. Taksonomi ini dibahagikan kepada dua dimensi iaitu (i) dimensi pengetahuan dan (ii) dimensi proses kognitif. Dimensi pengetahuan memberikan penekanan kepada empat bahagian iaitu fakta, konseptual, kaedah dan metakognitif (Pickard, 2007; Cochran, Conklin & Modin, 2007). Dimensi pengetahuan didapati bermula dengan pengetahuan fakta, konsep, prosedur dan metakognitif. Kesemua pengetahuan ini perlu dimulakan dengan pengetahuan secara konkrit dan kemudiannya ditukarkan menjadi pengetahuan abstrak. Dimensi proses kognitif pula merujuk proses kognitif yang terhasil akibat gabungan aras sintesis, analisis atau penilaian, dan ditambah bersama aspek mencipta selepas aras penilaian.\nModel Kemahiran Berfikir Pusat Perkembangan Kurikulum KPM (2002) pula terdiri daripada empat domain utama iaitu (i) kemahiran berfikir kritis;\u00a0 (ii) kemahiran berfikir kreatif; (ii) strategi berfikir; dan (iv) kemahiran berfikir menaakul (Zaini Mahbar, Juriah Long & Zarin Ismail, 2013). Domain kemahiran berfikir kritis dibangunkan untuk seseorang individu menilai kerelevanan sesuatu idea. Domain ini pastinya memberikan peluang kepada calon SPM untuk menghadirkan pengalaman yang mengasah kemampuan membuat kritikan atau membuat sintesis terhadap isu yang dikemukakan dalam peperiksan SPM. Seterusnya, domain kemahiran berfikir kreatif bertujuan untuk seseorang individu mencerna dan menghasilkan idea baharu yang asli. Domain ini amat penting kerana membenarkan calon SPM menggunakan pemikiran kreatif untuk melengkapkan jawapan dalam kertas peperiksaan. Selanjutnya, domain strategi berfikir merupakan proses berfikir peringkat tinggi dan prosedurnya pula menggabungkan pelbagai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Domain kemahiran menaakul pula bertujuan membantu seseorang calon SPM membuat pertimbangan secara logik dan rasional semasa menggunakan kemahiran berfikir dan strategi berfikir dalam peperiksaan SPM.\nNamun begitu, adalah penting untuk difahami bahawa peningkatan prestasi calon SPM tahun 2020 merupakan titik tolak kepada kejayaan pelbagai usaha yang dilakukan oleh para pendidik, penyelidik, pemegang taruh dan disokong oleh pemantapan dasar, polisi dan sumber terbuka dalam talian bagi mencambahkan minat terhadap keupayaan berfikir secara KBAT. Lonjakan kecemerlangan ilmu dan pembudayaan KBAT di Malaysia perlu mengambi kira enam inisiatif utama yang dilakukan oleh para guru dan pentadbir di sekolah, iaitu (i) meneliti keperluan dan kandungan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) \u00a0berasaskan KBAT; (ii) merancang PdPc atau PdPR dengan menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang mengandungi objektif pembelajaran dan aktiviti yang menggunakan KBAT dan penyediaan bahan bantu mengajar yang menggalakkan KBAT; (iii) melaksanakan PdPc atau PdPR KBAT dengan menggunakan alat berfikir yang sesuai dan teknik penyoalan yang berkesan di samping mewujudkan persekitaran yang menggalakkan murid berfikir; (iv) menaksir penguasaan KBAT murid dengan menyediakan soalan berasaskan KBAT dalam pentaksiran; dan (v) membuat refleksi tentang keberkesanan PdPc atau PdPR dalam menggalakkan amalan berfikir dengan menggunakan KBAT.\nKBAT merupakan suatu wadah baharu yang perlu disuburkan secara berterusan dalam sistem pendidikan dan berupaya menjadi tunggak utama kemajuan sesebuah peradaban sesebuah tamadun bangsa dan negara. Kecemerlangan SPM tahun 2020 merupakan kejayaan calon SPM, para guru yang bertungkus lumus mengajar dalam norma baharu dan kebiasaan baharu, pentadbir sekolah, sokongan berterusan daripada ibu bapa, penyelidik, mahupun KPM untuk berganding bahu dan mencari penyelesaian alternatif untuk melestarikan proses pendidikan dan pengembangan ilmu walaupun dunia pendidikan kini berada dalam situasi penularan pandemik. Pembudayaan KBAT ini pastinya kelak akan melahirkan melahirkan golongan pemikir yang progresif, dinamik dan berdaya saing." "Netanyahu Tersungkur, Naftali Bennett PM Baharu Israel\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerdana Menteri paling lama dalam sejarah Israel, Benjamin Netanyahu, 71 tahun, akhirnya terpaksa melepaskan jawatannya selepas kalah tipis dalam undi percaya di parlimen kepada Naftali Bennett, 49 tahun.\nNetanyahu yang memegang jawatan Perdana Menteri untuk tempoh 12 tahun, \u00a0kalah 50-60 kepada Bennett dalam undi percaya yang diadakan pada Ahad lalu. Bennet akan memegang jawatan tersebut untuk tempoh dua tahun, iaitu bermula hari ini hingga tahun 2023. \u00a0Selepas tempoh itu berakhir, Bennet akan digantikan oleh Yair Lapid, 57 tahun menerusi perjanjian dan gabungan yang telah dipersetujui oleh mereka." "Perbincangan Khas Raja-raja Melayu: Tujuh Perkara Digariskan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta\u2019in Billah, hari ini berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara. Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Dato\u2019 Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi kerajaan, maka Majlis Raja-Raja menggariskan tujuh perkara yang perlu diberikan keutamaan seperti yang berikut:" "Calon Peperiksaan Awam Bakal Divaksin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar murid yang menduduki peperiksaan awam diberikan keutamaan untuk divaksin telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) yang dipengerusikan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.\nHari ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin memaklumkan perkara tersebut\u00a0 menerusi laman Facebook miliknya, dengan menjelaskan bahawa keputusan tersebut merupakan susulan kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas.\n\u201cBagi vaksinasi guru, hingga kini lebih daripada 90 ribu orang guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin. KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,\u201d ujar Dr. Radzi yang turut berkongsi video ringkas Khairy memberikan penjelasan mengenai perkara berkenaan.\nData yang diterima daripada KPM mendapati sebanyak 357 ribu orang pelajar tingkatan lima dan 47 ribu orang guru yang mengajar pelajar tingkatan lima. \u201cAnak-anak yang menghadapi peperiksaan awam perlu kembali ke sekolah untuk persediaan menghadapi peperiksaan. Kami bekerjasama dengan KPM dengan memberi tumpuan pada tahun peperiksaan terlebih dahulu dan untuk memberikan inokulasi kepada guru, kakitangan sokongan sekolah serta pelajar tahun peperiksaan,\u201c kata Khairy dalam forum tersebut.\nPada 16 Jun 2021, \u00a0penggunaan vaksin Comirnaty buatan Pfizer-BioNTech diluluskan untuk kegunaan golongan berusia 12 tahun dan ke atas menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menjelaskan bahawa kelulusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-359." "Situasi \u201cMenang-Menang\u201c dalam Berhadapan dengan Pandemik COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPenularan kes COVID-19 yang terus meningkat dalam tempoh yang panjang memberikan impak terhadap ekonomi dunia dan juga kepada negara khususnya. Banyak sektor yang dilihat terkesan dan berhadapan dengan kekangan aliran tunai seperti sektor pelancongan, penerbangan, pengangkutan, pembinaan dan juga pendidikan.\nKerajaan turut mengumumkan Malaysia kehilangan kira-kira RM98 bilion punca pendapatan sepanjang bulan Mac hingga Mei 2020 rentetan penutupan banyak premis perniagaan. Sektor swasta merupakan penyumbang terbesar ekonomi negara kerana menawarkan lebih daripada 90 peratus peluang pekerjaan berbanding 10 peratus daripada sektor kerajaan. Justeru itu, ekonomi negara dilihat agak merosot kerana sepanjang pandemik, keupayaan sektor swasta dalam menyediakan pekerjaan baharu adalah terhad. Rekod Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) turut menunjukkan sejumlah 28 774 orang pekerja telah hilang pekerjaan setakat 28 Mac 2021 dan data turut menunjukkan kumpulan golongan pekerja berusia antara 30 hingga 34 tahun ialah kumpulan yang paling dominan berhadapan dengan kehilangan pekerjaan.\nKebanyakan firma atau organisasi yang berskala kecil ataupun dikategorikan sebagai perniagaan tahap mikro berhadapan dengan kesukaran dalam mengurus aliran tunai. Bebanan dilihat seakan-akan bertambah apabila kerajaan telah menetapkan arahan kepada pihak majikan untuk terus membuat bayaran gaji penuh. Laporan Jabatan Statistik Malaysia menunjukkan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, lebih 28.3 peratus syarikat menyatakan pendapatan bulanan yang diterima berkurangan sehingga melebihi 90 peratus. Pada masa yang sama, 70 peratus daripadanya turut memaklumkan simpanan yang ada mampu untuk bertahan bagi tempoh dua bulan sahaja. Jadi, adakah wajar bagi pihak majikan untuk terus membayar gaji penuh, walaupun syarikat tidak beroperasi?\nGaji merupakan antara komitmen terbesar sesebuah organisasi. Secara asasnya, bayaran gaji melibatkan purata yang agak tinggi iaitu antara 25 peratus hingga 35 peratus daripada kos operasi syarikat. Namun begitu, kos ini boleh menjangkau 50 peratus hingga 60 peratus bagi syarikat yang menyediakan servis perkhidmatan. Situasi sukar sebegini memerlukan penglibatan kedua-dua pihak \u2012 majikan dan pekerja \u2012 untuk sama-sama memastikan hak mereka terpelihara. Menurut Datuk Shamsuddin Bardan selaku Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan (MEF), situasi pandemik ini berlaku di luar jangkaan dan kawalan kedua-dua pihak. Beliau berpendapat perlulah ada formula \u201cmenang-menang\u201d dengan cara pekerja dapat meneruskan kehidupan dan syarikat diberikan peluang untuk terus bernafas. Sebagai contoh, beliau mencadangkan majikan perlulah meneruskan membuat bayaran gaji kepada pekerja sekurang-kurangnya 12 hari gaji\u00a0 kerana dalam Peraturan-peraturan Kerja (Faedah-faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara 1980) dinyatakan, dalam tempoh 4 minggu berterusan jika syarikat gagal membuat bayaran gaji sekurang-kurangnya 12 hari, bererti pekerja telah ditamatkan perkhidmatan atau laid-off. Oleh itu, bayaran gaji minimum itu perlu dilakukan bagi memastikan hubungan pekerja-majikan masih wujud. Sekurang-kurangnya syarikat tidak perlu membayar gaji penuh dan pada masa yang sama pekerja juga masih lagi mempunyai pendapatan dan pekerjaan. Dalam situasi kritikal ini, pemberhentian kerja ternyata menjadi ketakutan utama dalam kalangan pekerja yang boleh memberikan kesan besar terhadap kelangsungan hidup.\nSelain itu, arahan untuk bekerja dari rumah atau BDR juga sesuatu yang perlu difikirkan kerana memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila pekerja BDR, tiada kos melibatkan perjalanan dan pengangkutan pekerja. Sementara bagi pihak majikan pula, kos utiliti seperti bil elektrik dan air serta kos penyelenggaraan dapat dikurangkan.\u00a0 Situasi ini perlu dilihat semula dari sudut simpanan atau pengurangan kos yang boleh dijadikan manfaat bersama antara kedua-dua pihak. Di Jepun, syarikat Fujitsu antara contoh syarikat yang mengambil inisiatif dengan memanfaatkan simpanan yang boleh dibuat apabila pekerja diarahkan BDR. Syarikat tersebut telah mengecilkan ruang pejabat dan hasil atau pendapatan yang diperolehi digunakan untuk memberikan elaun tertentu kepada pekerja yang BDR. Ini ialah contoh keadaan \u201cmenang-menang\u201d yang amat baik dan boleh dipraktikkan di Malaysia.\nDalam berhadapan dengan krisis kesihatan ini, \u00a0kerajaan turut memainkan peranan dengan berganding bahu membantu daripada pelbagai aspek dan dalam memastikan ekonomi negara terus dijana. Antara program yang diusahakan ialah program pengekalan pekerjaan (ERP) yang memperuntukkan bantuan sebanyak RM120 juta \u2012 bantuan segera sebanyak RM600 dibayar kepada pekerja yang dicutikan oleh majikan. Kerajaan juga telah mewujudkan program subsidi upah yang merupakan penambahbaikan kepada program ERP dan bertujuan untuk membantu majikan yang terkesan kerana COVID-19 serta memastikan mereka mengekalkan pekerja dan meneruskan operasi syarikat.\u00a0 Secara keseluruhannya, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM15 bilion dalam program subsidi upah yang dianggarkan mampu untuk menampung dalam tempoh enam atau tujuh bulan.\nYang terkini, pada 1 Jun 2021, kerajaan turut mewujudkan program bantuan PEMERKASA Tambahan yang berjumlah RM40 bilion sebagai inisiatif terbaharu bagi meringankan beban rakyat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bantuan ini turut merangkumi pemberian moratorium kepada perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP.\nSegelintir masyarakat berpendapat bahawa kerajaan perlu mempercepat segala bentuk bantuan kerana ramai yang hilang punca pendapatan sepanjang pandemik melanda negara. Sebilangan mereka turut juga mempersoalkan kemampuan kerajaan untuk memberikan peruntukan yang lebih besar, apatah lagi melihat negara luar, sebagai contoh kerajaan di United Kingdom, yang memberikan sehingga 80 peratus subsidi gaji. Sementara itu, di Singapura pula, kerajaan mereka memperuntukkan 75 peratus subsidi gaji. Namun demikian, atas banyak faktor lain yang perlu diutamakan, menyebabkan peruntukan terpaksa dihadkan.\nSementara itu, Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr. Madeline Berma turut menyuarakan kegusaran sekiranya kerajaan tidak mempunyai kewangan yang mencukupi untuk menampung pakej rangsangan ekonomi kepada rakyat. Beliau turut berpendapat walaupun bantuan sememangnya perlu diberikan kepada rakyat, namun bantuan kewangan hanya boleh diberikan untuk jangka masa yang pendek sahaja.\nBerikutan dengan pengumuman pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun Sekatan Pergerakan Penuh (Total Lockdown) di seluruh negara yang bermula pada 1 Jun lalu, ternyata hal ini turut memberikan kesan yang amat besar kepada pendapatan perniagaan. Keputusan ini bertujuan untuk mengurangkan pergerakan orang ramai dan diyakini mampu untuk mengurangkan jumlah daripada 15 juta pekerja menjadi 1.5 juta orang yang keluar bekerja. Menteri Kanan Keselamatan, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan sebanyak \u00a017 sektor yang dibenarkan beroperasi iaitu sektor makanan dan minuman, perkhidmatan kesihatan, serta perkhidmatan keselamatan yang merangkumi kebajikan, namun kerancakan ekonomi dan tahap keyakinan di pasaran masih lemah, termasuklah pasaran dalam dan luar negara.\nUntuk mengembalikan kerancakan ekonomi bukanlah satu usaha yang mudah, apatah lagi melihatkan kewujudan varian baharu yang bermutasi dan berlaku penularan jangkitan dengan pantas, perkara ini turut merencatkan tahap keyakinan rakyat terhadap ekonomi dan pasaran. Keyakinan pengguna terhadap pasaran penting kerana mereka akan menyokong, berbelanja, dan seterusnya kerancakan ekonomi dapat terus dijana.\nDalam keadaan kritikal ini, kebenaran yang diberikan kepada syarikat untuk terus beroperasi dan tidak gulung tikar ialah keputusan yang sangat relevan dalam usaha memastikan ekonomi negara terus bergiat aktif. Majikan dan pekerja hendaklah bersama-sama mencari jalan untuk beroperasi dalam norma baharu dan kebiasaan baharu ini. Jika sebelum ini, simpanan yang ada mampu untuk bertahan sehingga tempoh dua bulan sahaja, jadi kesepakatan dan perbincangan perlulah dibuat untuk bersama-sama mencari alternatif bagaimanakah dana itu boleh dipanjangkan sehingga empat, enam atau sembilan bulan. Perkara ini sejajar dengan pernyataan Perdana Menteri Malaysia ketika mengumumkan bantuan PRIHATIN, apabila beliau turut mencadangkan perbincangan kedua-dua pihak amat digalakkan untuk mendapatkan kesepakatan yang lebih praktikal. Inilah norma baharu yang perlu difikirkan yang boleh memelihara kebajikan pekerja mahupun majikan." "Program Pengembangan Bahasa Melayu Bakal Dilaksanakan di IPT Negara ASEAN\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bersempena dengan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang diadakan pada 22 Mei 2022 hingga 24 Mei 2022, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengadakan Sidang Meja Bulat Wakil-wakil ASEAN untuk Program Pengembangan Bahasa Melayu di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Negara-negara ASEAN, bertempat di Hotel Four Points by Sheraton, pada pukul 8.15 malam tadi.\nSidang Meja Bulat ini menampilkan syarahan khas tentang bahasa Melayu oleh Yang di-Pertua Dewan Negara dan Pengasas Yayasan Budi, Yang Berhormat Senator Tan Sri Dato\u2019 Seri Utama Dr. Rais Yatim, selain menghimpunkan lebih 35 orang tokoh ilmuwan dan pemimpin IPT dari Malaysia, serta wakil dari negara ASEAN seperti Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, Filipina dan Kampuchea.\nMenerusi syarahan yang bertajuk \u201cBiduk Lalu, Kiambang Bertaut\u201d yang disampaikan, Yang Berhormat Senator Tan Sri Dato\u2019 Seri Utama Dr. Rais berkata, \u201cDaripada tajuk ini, hasratnya adalah untuk untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.\u201d\nBiduk lalu, kiambang bertaut bererti apabila biduk berlalu di sawah yang berair dalam, maka kiambang akan bertaut. Hal ini bermakna, Malaysia, Indonesia dan negara ASEAN walau apa-apa juga keadaan akan tetap bertaut apabila \u2018biduk\u2019 sudah berlalu. Dalam hal ini, kita harus mencari jalan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kasih sayang dan perpaduan antara kita. Maka itu, obor yang harus dihidupkan ialah obor semangat, obor perbuatan, obor penyatuan dan obor pelaksanaan dasar kita.\nMenurut kenyataan Pejabat Pengarah ATMA UKM, jaringan yang terjalin melalui Sidang Meja Bulat ini akan membuka ruang kolaborasi dari aspek pengajaran, penyelidikan, penerbitan dan kegiatan yang berkaitan dengan pengembangan bahasa Melayu di IPT negara-negara ASEAN.\nBagi tujuan itu, beberapa cadangan inisiatif jangka masa pendek dan panjang dibincangkan dalam Sidang Meja Bulat ini seperti pembentukan ahli panel penggubal sukatan kursus, merancang penggubalan Ujian Tara Bahasa Melayu yang standard, penubuhan pangkalan program pengembangan bahasa Melayu di IPT negara ASEAN, selain merancang program terjemahan dan adaptasi karya ilmu dalam bahasa Melayu kepada bahasa lain di negara ASEAN dan juga sebaliknya untuk maksud pertukaran ilmu dan kearifan tempatan negara masing-masing.\n\u201cPerancangan Program Pengembangan Bahasa Melayu di IPT Negara-negara ASEAN ini pastinya akan disusun dan disinergikan mengikut kesesuaian tenaga pengajar dan pelajar, iaitu kelompok yang mempunyai asas bahasa Melayu dan kelompok yang tidak mempunyai asas bahasa Melayu,\u201d jelas Pengarah ATMA, UKM.\nYang turut hadir dalam Sidang Meja Bulat tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi, YBhg. Dato\u2019 Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran; Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat) UKM, YBhg. Profesor Dato\u2019 Dr. Norazah Mohd Nordin; wakil ASEAN, agensi dan IPT; serta barisan pemerhati dari dalam dan luar negara yang antaranya termasuklah YBhg. Profesor Emeritus Dr. Dustin Cowell dari Wisconsin University; YBhg. Profesor Karl Alexandar Aadelar dari University of Melbourne; YBhg. Profesor Dr. James T. Collins yang kini Profesor Antarabangsa Tersohor, Institut Kajian Etnik UKM; YBhg. Profesor Ismeth Fanany selaku Profesor Kehormat, Deakin University, Australia; dan YBrs. Dr. Surya Suryadi dari Leiden University." "Pengambilan Khas Guru oleh KPM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan pengambilan guru secara sekali beri (one-off) bagi memastikan masalah kekurangan guru di seluruh negara sejak sekian lama dapat diatasi dalam tempoh masa yang singkat.\nMenurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, antara cabaran utama bagi pengambilan guru di Malaysia pada masa ini adalah kekurangan bekalan calon guru Institut Pendidikan Guru (IPG) dan ketidakpadanan opsyen mata pelajaran.\n\u201cKPM memerlukan sejumlah guru untuk mata pelajaran tertentu, tetapi bekalan guru yang ada untuk mata pelajaran tersebut amat terhad. Sebaliknya, bekalan guru untuk mata pelajaran lain yang opsyen telah penuh dan lebih ramai. Disebabkan ketidakpadanan ini, maka agak sukar untuk KPM mengambil guru-guru baharu untuk mengisi kekosongan jawatan guru yang wujud,\u201d ujar Dr. Radzi pada hari ini menerusi sidang media yang berlangsung secara dalam talian, pada pukul 10.00 pagi.\nDr. Radzi berkata, Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang mempunyai jumlah kekurangan guru yang tertinggi, diikuti oleh Selangor dan Johor, bahkan peratusan pengisian kekosongan jawatan guru di Sabah dan Sarawak amat rendah berbanding dengan negeri lain.\n\u201cBagi kategori sekolah rendah, mata pelajaran yang mencatatkan jumlah kekurangan guru yang tinggi ialah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Bagi kategori sekolah menengah pula, terdapat lima mata pelajaran, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi,\u201d kata Dr. Radzi.\nMelalui kajian yang dilakukan secara mendalam, terdapat keperluan untuk mewujudkan kluster opsyen mata pelajaran. Melalui pendekatan ini, KPM akan menyusun kelayakan dan kelulusan bakal calon guru berdasarkan kluster tertentu bagi membolehkan ruang ataupun sumber bekalan guru menjadi lebih luas dan membolehkan KPM memilih calon yang berkelayakan untuk opsyen yang diperlukan. Seterusnya ialah pelaksanaan kepelbagaian kaedah pelantikan yang dibuat berdasarkan satu pendekatan yang holistik.\nDr. Radzi turut berkata, KPM dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) akan bekerjasama untuk menyediakan panel penemu duga, logistik dan keurusetiaan bagi membolehkan pelaksanaan pengambilan khas guru secara sekali saja\u00a0yang berjumlah 18 702 orang pegawai perkhidmatan pendidikan gred DG 41 dapat disempurnakan dalam tempoh masa yang singkat bagi memastikan isu kekurangan guru dapat diselesaikan dan tidak berulang semula pada masa hadapan.\n\u201cDi samping itu, pengambilan khas guru ini dapat membuka ruang dan peluang pekerjaan kepada para graduan universiti yang berminat menjadi guru dan mengajar. Iklan pengambilan khas guru secara sekali saja ini akan dikeluarkan oleh SPP pada 7 Julai 2021 dan penempatan secara berperingkat-peringkat akan dilaksanakan bermula pada Oktober 2021,\u201d jelas Dr. Radzi.\nUntuk menonton sidang media penuh, sila layari FB DBP." "NUTP Sambut Baik Pengumuman Pengambilan Khas Guru\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMenteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, mengumumkan khabar gembira apabila \u00a0kerajaan bersetuju membuat pengambilan khas guru secara sekali beri (one-off) sebagai penyelesaian kepada isu kekurangan guru yang berlarutan sejak sekian lama. Menerusi sidang medianya yang diadakan secara dalam talian pada pagi tadi, Dr. Radzi menjelaskan bahawa pengambilan khas tersebut merupakan kolaborasi strategik antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM); Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), iaitu yang bertanggungjawab membuat kelulusan khas pengisian jawatan; dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) yang bertindak sebagai pihak berkuasa melantik dalam perkhidmatan pelajaran.\nTernyata pengumuman Menteri Pendidikan itu turut mendapat perhatian Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang menganggapnya sebagai pengumuman yang membawa makna yang cukup besar kepada warga pendidik di seluruh negara. Menurut Presiden NUTP, Aminuddin Awang, pengumuman tersebut memberikan sinar baharu kepada dunia pendidikan negara dan kelegaan kepada warga pendidik apabila masalah terbesar dalam pendidikan itu akhirnya akan dapat diselesaikan.\n\u201cDalam keadaan pandemik yang masih melanda negara dan kekangan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan, kita amat bersyukur dengan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pendidikan. Sememangnya, inilah yang dinanti-nantikan oleh semua warga pendidik. Pengumuman ini cukup bermakna untuk kita,\u201d ujar Aminuddin kepada Dewan Masyarakat.\nOleh itu, tambah Aminuddin, bakal guru yang berjaya menjawat jawatan ini kelak perlu memberikan komitmen yang tinggi dan menggalas tugas ini dengan membuktikan kepada negara bahawa peluang yang diberikan oleh kerajaan ini tidak akan disia-siakan.\n\u00a0 \u201cMereka perlu membuktikan bahawa meskipun tempoh pengambilan mereka agak singkat, iaitu pada Julai 2021 dan penempatan mereka akan bermula Oktober 2021, namun mereka layak untuk bergelar pendidik. Kita tidak mahu ada yang mempertikaikan kualiti dan kebolehan mereka pada masa akan datang. Maka itu, mereka perlu ada minat yang mendalam dan usaha yang berterusan untuk beradaptasi dengan dunia pendidikan yang semakin mencabar, khususnya kebiasaan baharu dan mengasah kebolehan untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). \u00a0Ingatlah, peluang emas sebegini tidak pernah ditawarkan oleh kerajaan, maka gunakanlah dengan sebaik-baiknya kerana seorang pendidik tugasnya adalah untuk melakar masa hadapan sesebuah negara, jadi tanggungjawab itu perlu ditunaikan dengan sebaik-baiknya,\u201d jelas Aminuddin.\n\u00a0Selain itu, Aminuddin turut mengingatkan calon guru agar bersedia untuk ditempatkan di kawasan luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila KPM mengumumkan kekurangan guru tertinggi mengikut negeri, maka calon perlu menyedari bahawa KPM telah mengkaji perkara tersebut secara terperinci dan mempunyai data yang tepat tentang kekurangan guru yang melibatkan empat negeri utama, iaitu Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor.\n\u201cApabila mereka terpilih menjadi guru kelak dan ditempatkan di luar bandar, mereka perlu berlapang dada untuk menerimanya. Mereka perlu meletakkan tanggungjawab mendidik anak bangsa itu pada kedudukan yang tertinggi dengan sanggup berkhidmat di mana-mana kawasan yang telah ditetapkan,\u201d ujar Aminuddin.\nLebih menarik lagi, Aminuddin percaya bahawa pengumuman kerajaan ini bukan sahaja akan menyelesaikan isu kekurangan guru, malah lebih penting dapat mengatasi masalah ketidakpadanan opsyen mata pelajaran yang dialami oleh guru sejak sekian lama. Oleh itu, apabila sebanyak 18 702 orang guru mengisi kekosongan sebagai guru mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam dan Reka Bentuk & Teknologi \u2013 \u00a0sekolah menengah. Begitu juga dengan guru sekolah rendah yang melibatkan mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam dan Teknologi Maklumat & Komunikasi, maka NUTP percaya bebanan guru pasti akan dapat dikurangkan dan kualiti guru serta kemenjadian murid akan mampu dicapai selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.\nBerikut merupakan tujuh perkara penting yang diperincikan oleh Dr. Radzi\u00a0\u00a0dalam sidang medianya:" "Integriti Mengukuhkan Jati Diri Warga Kerja\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Lebih daripada 1500 orang warga kerja Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDRM) berjaya memanfaatkan tempoh bekerja dari rumah (BDR) dengan mengikuti taklimat integriti yang disampaikan oleh Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO) yang berlangsung pada hari ini.\nProgram yang diadakan secara dalam talian itu membuktikan bahawa pandemik COVID-19 yang melanda negara bukanlah alasan kepada ahli ACeIO untuk tidak meneruskan usaha pembudayaan integriti dalam masyarakat. Pendekatan secara lebih berstrategik dengan penyesuaian mengikut kebiasaan baharu dan norma baharu terus diterokai dalam menyampaikan maklumat berkaitan dengan pengurusan integriti.\nSelain warga kerja JKDRM, ACeIO juga menyediakan program taklimat bersiri secara dalam talian dengan warga kerja Mahkamah Persekutuan Malaysia. Taklimat ini diadakan mengikut zon dan disertai oleh semua lapisan warga termasuklah hakim, majistret dan pendaftar mahkamah.\n\u00a0\nOleh itu, ACeIO merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Pengarah Kastam, Dato\u2019 Sri Abdul Latif Abdul Kadir atas sokongan serta penyediaan platform program interaktif ini untuk dijayakan bersama-sama ACeIO.\nACeIO juga turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang membuka ruang untuk perkongsian paparan integriti menerusi JendelaDBP." "IM ACeIO Medan Perkongsian Pengurusan Integriti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Bagi meneruskan pembudayaan integriti dalam kalangan masyarakat, sesi perkongsian ilmu berkaitan dengan budaya integriti yang dianjurkan oleh Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO) diteruskan lagi. ACeIO yang ditubuhkan pada 23 Oktober 2013 berperanan sebagai rangkaian kerjasama antara Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) yang mempunyai kepakaran dalam pencegahan rasuah serta pengurusan integriti di sektor awam dan swasta.\nSesi perkongsian pada kali ini, menampilkan Pengerusi Perhubungan ACeIO Negeri Selangor, Ali Suhaili, yang sudi berkongsi pengalaman peribadi beliau dalam mengurus integriti. Perkongsian yang diadakan secara dalam talian menerusi pelantar IM ACeIO (Integrity Moments ACeIO) telah menarik minat ahli persatuan dan warga siber untuk berkongsi maklumat yang disampaikan menerusi media sosial lain.\nMenurut Setiausaha ACeIO, Mohd Nasrul Ekram, IM ACeIO dibangunkan oleh ACeIO dengan tujuan untuk menyediakan pelantar kepada ahli supaya mereka dapat berkongsi pengalaman secara langsung berhubung dengan amalan terbaik dalam pengurusan integriti. Selain itu, pelantar ini juga satu daripada usaha persatuan untuk mengukuhkan hubungan dan kerjasama sesama ahli bagi membudayakan integriti secara berterusan.\nSesi perkongsian ini turut dihadiri oleh Syarifah Faiqah yang merupakan seorang mahasiswa dari UiTM. Beliau menzahirkan rasa teruja dan sangat bersyukur kerana dapat mendengar sendiri pengalaman peribadi seorang pengamal integriti yang terlibat secara langsung dalam pengurusan integriti. Beliau berharap agar ilmu yang diperoleh daripada perkongsian tersebut dapat dimanfaatkan untuk diaplikasikan dalam bidang kerjayanya kelak." "CeIO Peneraju Pembudayaan Integriti dalam Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) perlu memainkan peranan yang\u00a0 lebih besar dalam usaha pembudayaan integriti dalam kalangan masyarakat. Program yang dicetuskan daripada Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2009 Siri 1 No. 1 Tahun 2011 itu bertujuan untuk melahirkan pegawai yang bertanggungjawab dalam menguruskan integriti di sektor awam dan swasta. Hingga kini, lebih daripada 1500 orang CeIO telah dilatih di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).\nMengulas perkara ini, Dato\u2019 Idris Zaharudin, Pengarah MACA menyarankan agar semua CeIO bernaung di bawah Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) Malaysia agar usaha pengurusan integriti dapat dilaksanakan dengan lebih profesional. Beliau turut memuji usaha ACeIO dalam menyediakan pelbagai pelantar untuk perkongsian maklumat berkaitan dengan integriti dalam kalangan ahli. Idris turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada ACeIO yang sentiasa menyokong dan menjayakan program anjuran MACA. Setiap pelibatan ahli ACeIO dalam pelbagai program pembudayaan integriti tersebut boleh direkodkan bagi tujuan perlanjutan pentauliahan masing-masing, tambahnya lagi.\nIdris turut mengalu-alukan sokongan dan kerjasama ahli ACeIO untuk bersama-sama menyebarluaskan mesej integriti dan antirasuah kepada masyarakat. Penyesuaian kepada kebiasaan baharu dalam usaha menyebarkan mesej integriti dan antirasuah perlu dipergiatkan. Ketika ditemu ramah, Idris turut berkongsi pautan di Facebook MACA yang memaparkan tiga video pendek yang dihasilkan oleh peserta program CeIO yang sedang mengikuti program di MACA sebagai inisiatif CeIO yang terpuji.\nVideo 1: Vhttps://fb.watch/6ggDfi9uGW/\nVideo 2: https://fb.watch/6ggFZOpDKp/\nVideo 3: https://fb.watch/6ggI0uWX-p\nPengerusi Perhubungan ACeIO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Mohamad Zamir Wan M. Zuki, turut sama menyokong saranan Pengarah MACA. Sehubungan dengan itu, beliau menyeru semua CeIO agar menyertai ACeIO. Penyertaan dalam ACeIO ini akan dapat mengukuhkan jati diri masing-masing dan saling berkongsi pengalaman, pengetahuan serta amalan terbaik dalam pengurusan integriti sesama ahli serta sentiasa menyebarluaskan mesej integriti dan antirasuah kepada masyarakat. Zamir turut berkongsi pengalaman dan amalan terbaik pengurusan integriti di RISDA menerusi pelantar IM ACeIO. Beliau turut berkongsi kepuasan yang diperoleh apabila integriti dijadikan sebagai teras jati diri dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab harian.\nACeIO sentiasa mengalu-alukan pandangan dan cadangan semua pihak dalam mengukuhkan lagi tadbir urus persatuan serta peranan ACeIO untuk membudayakan integriti dalam kalangan masyarakat. Azmi Ahmad yang merupakan Timbalan Presiden ACeIO turut menyambut baik saranan Pengarah MACA agar ACeIO dan MACA saling bekerjasama dalam program yang melibatkan CeIO. Sehubungan dengan itu, beliau menyeru ahli ACeIO untuk turut bersama-sama menyebarluaskan dan menjayakan projek yang dilaksanakan oleh peserta program CeIO seperti Enhancement Integrity Project (EIP) dan Seminar Kelestarian Integriti (SKI). Azmi turut memaklumkan bahawa beberapa program sedang diatur oleh ACeIO dalam masa yang terdekat seperti Konvensyen CeIO dan Simposium Integriti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengukuhkan lagi usaha pembudayaan integriti." "CeIO Duta Integriti dalam Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJohor Bahru \u2013 \u00a0Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) perlu menjadi contoh dan ikutan pengamalan nilai integriti dalam masyarakat di negara ini. Hal ini dikatakan demikian kerana menerusi CeIO, individu yang terpilih dan berjaya akan ditauliahkan sebagai Pegawai Integriti Bertauliah oleh Lembaga Pengiktirafan Pegawai Integriti Bertauliah (LPPIB). Pentauliahan yang diberikan kepada CeIO tidak hanya akan melayakkan seseorang untuk menguruskan integriti dalam organisasi, tetapi perlu diterjemahkan dalam kehidupan hariannya.\nPerkara tersebut turut dikupas oleh Pengerusi Perhubungan ACeIO Negeri Johor, Md. Rozamusliadi Roslan dalam sesi perkongsian integriti di IM ACeIO yang berlangsung pada hari ini. Beliau yang juga merupakan Pegawai Kanan di Jabatan Kerajaan Negeri Johor turut berkongsi pendekatan yang dilaksanakannya dengan sokongan Kerajaan Negeri Johor dalam usaha pemantapan integriti dalam kalangan masyarakat khususnya penjawat awam di negeri tersebut.\nSementara itu, Mohammad Firdhous Hassan yang merupakan Pegawai Penguat Kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Johor turut mengakui bahawa beliau turut terkesan dengan usaha pengukuhan integriti yang dilaksanakan oleh ACeIO khususnya dalam kalangan penguat kuasa PBT di Johor. Firdhous yang juga penerima Anugerah Malaysian Anti \u2013 Corruption Champion Award \u00a0(MACA) pada tahun 2019 turut menyatakan rasa syukur kerana dipilih sebagai salah seorang Integrity Champion (IC) oleh Ketua Jabatannya dalam satu program anjuran ACeIO pada tahun 2017. Sebagai seorang daripada IC yang dilantik untuk mewakili jabatan, beliau wajar menjadi contoh dan ikutan kepada rakan sekerjanya dalam pengamalan etika dan nilai murni semasa bertugas. Maka itu, Firdhous mengucapkan terima kasih kepada Ketua Jabatan beliau yang juga merupakan seorang CeIO kerana menjadi mentor dan ikon integriti yang sentiasa menunjukkan contoh terbaik dan berintegriti.\nTidak ketinggalan, Naib Presiden Perhubungan Korporat dan Strategik ACeIO, Rezaidi Ishak ketika dihubungi memaklumkan tentang kesediaan ACeIO untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak dalam usaha pengukuhan dan pembudayaan integriti dalam masyarakat. Beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya turut merangka strategi bagi membantu ahli ACeIO untuk memenuhi keperluan semasa dalam pengurusan integriti." "Genggam Peluang ke Olimpik Tokyo\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBarisan atlet negara tidak seharusnya mensia-siakan peluang untuk beraksi pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun yang akan berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 selepas pentas berprestij dunia itu tertangguh hampir setahun disebabkan pandemik COVID-19.\nPenangguhan itu dilihat sebagai satu \u201crahmat\u201d buat semua atlet termasuk jaguh negara untuk melakukan persediaan yang lebih rapi dan pada masa yang sama terus membuka peluang untuk mereka yang kurang bernasib baik melayakkan diri. Jika penganjuran ini tidak ditunda, kontinjen negara mungkin terpaksa pasrah dengan hanya menghantar pasukan kecil tetapi disebabkan COVID-19, atlet negara masih mempunyai peluang selepas tempoh kelayakan dipanjangkan hingga 29 Jun 2021, iaitu berbaki empat hari sahaja lagi.\nSegala kesulitan yang dilalui di kala COVID-19 menyerang dunia tidak hanya dirasai oleh atlet kebangsaan negara, malah impak daripada virus itu seperti larangan ke luar negara dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), serta prosedur yang ketat turut memberikan tempias kepada hampir semua negara yang bertanding.\nPresiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach menegaskan bahawa tahun 2021 merupakan pilihan terakhir untuk menganjurkan temasya berprestij dunia itu yang tidak boleh ditangguhkan lagi selepas ini. Kenyataan itu ada benarnya kerana penganjur, iaitu Jepun langsung tidak menunjukkan keinginan mahu menunda Olimpik Tokyo 2020 yang dikatakan telah menelan belanja hampir AS$26 bilion (RM108 bilion) sebagai persediaan untuk temasya berkenaan.\nJika ditunda, pastinya bakal menjejaskan segala tarikh penganjuran dua temasya berprestij dalam kalendar sukan untuk tahun 2022, iaitu Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England (28 Julai 2021 hingga 8 Ogos 2021) dan Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China pada 10 hingga 25 September 2021. Maka itu, Olimpik Tokyo 2020 sememangnya wajar diteruskan pada ketetapan tarikh ketika ini bagi memberikan ruang dan masa kepada atlet sebelum menghadapi edisi seterusnya, iaitu Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.\nMeskipun COVID-19 masih belum lenyap, mereka juga tidak perlu panik mengenai situasi virus tersebut kerana penganjur telah pun memberi jaminan berhubung isu keselamatan setiap peserta selagi mereka mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Bagi atlet kebangsaan negara, fokus dan tumpuan mereka tidak boleh tergelincir sedikit pun daripada landasan untuk berjuang merealisasikan impian Malaysia menamatkan penantian 65 tahun meraih pingat emas pertama Olimpik sejak penganjuran edisi pertama di Melbourne, Australia pada tahun 1956.\nSandaran terbaik kontinjen negara pada Olimpik Tokyo 2020 digalas oleh dua atlet negara, iaitu jaguh berbasikal keirin, Azizulhasni Awang dan ratu terjun, Pandelela Rinong. Azizulhasni dilihat berada pada tahap paling baik berdasarkan persediaan dan pencapaian semasa untuk memperbaik pingat gangsa yang dimenanginya sewaktu Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil. Pandelela pula menunjukkan taringnya dalam kejohanan terakhir sebelum Olimpik Tokyo bermula, iaitu pada Piala Dunia Terjun 2021 di Pusat Akuatik Tokyo pada awal Mei lalu.\nAtlet berusia 28 tahun dari Sarawak itu mencipta sejarah baharu sebagai pemenang pingat emas pertama Malaysia di Piala Dunia Terjun sejak kejohanan itu mula dipertandingkan di Texas, Amerika Syarikat pada tahun 1979. Kejayaan ini sudah tentu memberikan tonik tambahan yang terbaik dan meningkatkan keyakinan serta motivasi Pandelela untuk memburu pingat peribadi ketiga berturut-turut di pentas Sukan Olimpik.\nPandelela yang akan beraksi dalam dua acara, iaitu 10 meter (m) platform individu dan 10m seirama bersama-sama Leong Mun Yee, pernah meraih tempat ketiga di London pada tahun 2012 sebelum memperbaik pencapaiannya dengan pingat perak sewaktu edisi Rio 2016. Pandelela dan pasangannya, Mun Yee turut menjadi harapan terbaik buat skuad terjun negara selepas bekas juara dunia, Cheong Jun Hoong terpaksa berputih mata untuk membuat penampilan dalam Olimpik Tokyo 2020.\nJun Hoong yang meraih pingat perak bersama-sama Pandelela sewaktu Rio 2016, berdepan nasib malang selepas slotnya ke Olimpik Tokyo 2020 ditarik semula disebabkan peraturan baharu yang ditetapkan oleh Persekutuan Renang Dunia (FINA). Hal ini selepas FINA membuat perubahan dalam peraturan kelayakan kuota individu, \u00a0iaitu hanya 12 tempat diperuntukkan ke Olimpik Tokyo 2020 berdasarkan keputusan pada Piala Dunia Terjun 2021 berbanding dengan 18 slot yang ditetapkan sebelum ini.\nKeputusan ini sekali gus meranapkan impian bekas juara Kejohanan Dunia 2017 itu yang hampir bersara disebabkan pembedahan terhadap kecederaan pada \u00a0kedua-dua belah lututnya sebelum kembali melakukan latihan intensif selama dua tahun di bawah bimbingan jurulatih dari China, Yang Zhuliang sejak November 2019.\nSelain Azizulhasni dan Pandelela, kem badminton negara juga mempunyai prospek yang mampu menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Malaysia khususnya juara perseorangan lelaki Terbuka All England, Lee Zii Jia. Pemain badminton lain yang turut layak ke Olimpik Tokyo 2020 ialah Aaron Chia \u2013 Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Soniia Cheah (perseorangan wanita), Chow Mei Kuan \u2013 Lee Meng Yean (beregu wanita) dan Chan Peng Soon \u2013 Goh Liu Ying (beregu campuran).\nTurut bertanding ialah pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad; dua orang gimnas artistik, Jeremiah Loo Phay Xing dan Farah Ann Abdul Hadi; empat orang pelayar, iaitu Khairulnizam Mohd Affendy, Nur Shazrin Mohd Latif, Nuraisyah Jamil dan Juni Noor Jamali; Gavin Green (golf); Nur Suryani Mohd Taibi (menembak); Shah Firdaus Sahrom (berbasikal); Lee Hup Wei (olahraga); dan dua lagi penerjun wanita, iaitu Wendy Ng Yan Yee dan Nur Dhabitah Sabri." "Aspirasi, Amanah untuk Direalisasikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDilahirkan pada 18 April 1966 di Kota Bharu, Kelantan. Dibesarkan di kampung bapanya di Rantau Panjang, sempadan Malaysia \u2013 Thailand. Zaman remaja dilalui dengan cara kehidupan kampung, membantu ibu dan bapa di kebun getah serta menjaga ternakan. Sekali-sekala beliau ke baruh menangkap ikan dan ke surau membantu siak membentang sejadah. Apabila meningkat dewasa, beliau berkelana mengenali dunia luar sambil menyambung pelajaran dan memenuhi minat sukan serta seni yang tersemai dalam diri.\nSeusai menghadiri konvokesyen, beliau terus kekal di Kuala Lumpur mencari rezeki dengan melukis di jalanan. Selepas lebih setahun bergelandangan di ibu kota, beliau menerima pesanan dari kampung untuk menghadiri temu duga kerja.\nSoalan pertama yang ditanya oleh panel temu duga, \u201ckenapa selepas setahun habis belajar, baru nak minta kerja?\u201d Beliau menjawab, \u201ckerana mengambil masa mencari pengalaman dan memahami keperluan masyarakat. Apabila dapat kerja nanti, bolehlah dibantu apa-apa yang patut.\u201d Alhamdulillah, beliau diterima dan kekal dalam kerjayanya sehingga sekarang.\nKetika dihubungi di pejabatnya pada hari ini, Tuan Ahmad Sabri Mohamed, Presiden Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) Malaysia sempat berkongsi sedikit kenangan yang pernah dilaluinya.\nMenjawab pertanyaan berhubung dengan perkembangan ACeIO, beliau turut berkongsikan visi beliau untuk melihat Malaysia dipimpin oleh Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO).\nVisi ini ditetapkan oleh beliau seawal hari pertama beliau dipilih sebagai Presiden ACeIO pada 31 Mac 2018. Beliau turut berkongsi aspirasi beliau untuk membawa ACeIO menerajui pengurusan integriti di Malaysia secara lebih profesional.\n\nKetika ditanya tentang sebab yang mendorong beliau untuk bersama-sama ACeIO, beliau menjelaskan bahawa beliau mendapat inspirasi daripada sahabat ACeIO yang memainkan peranan serta usaha secara berterusan untuk mempromosikan dan membudayakan integriti dalam kalangan masyarakat. Beliau mendapati hal yang demikian selari dengan Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2009, Siri 1 No. 1 Tahun 2011 (Pelaksanaan Program Pegawai Integriti Bertauliah) dan matlamat penubuhan ACeIO seperti yang termaktub di bawah perlembagaannya.\nApabila ditanya lanjut berhubung dengan perancangan beliau untuk ACeIO, beliau menjelaskan bahawa terdapat tiga keutamaan perancangan yang perlu diselesaikan oleh beliau, iaitu pelaksanaan kajian dan mengeluarkan Indeks Integriti secara tahunan; meneruskan Pengiktirafan Integriti kepada mereka yang menjuarai agenda integriti seperti yang telah dimulakan pada tahun 2019; dan meneruskan Liga Integriti yang tergendala pada tahun lepas sebaik-baik sahaja negara bebas daripada pandemik COVID-19 yang melanda.\nMengakhiri perbualan, beliau menyatakan bahawa semua aspirasi beliau bersama-sama ACeIO merupakan amanah yang perlu beliau laksanakan sehingga menjadi realiti.\nSehubungan dengan itu, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli ACeIO atas sokongan dan kerjasama serta komitmen yang tinggi untuk bersama-sama menjayakan agenda integriti dan antirasuah di negara tercinta ini." "Meneruskan Agenda Memartabatkan Integriti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dilahirkan pada 5 Julai 1960 di Muar, Johor. Merupakan anak bongsu daripada 11 orang adik-beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di St. Andrew\u2019s Muar sebelum melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur dan terus menetap sebagai warga kota Kuala Lumpur hingga kini.\nSeorang bapa yang penyayang dan suami yang setia. Beliau cukup menekankan semangat kekeluargaan dalam kehidupan harian. Bagi beliau, integriti ialah maruah diri, keluarga dan organisasi yang tidak boleh dikompromi.\nBeliau juga merupakan antara barisan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) paling awal yang ditauliahkan. Nilai dan jati diri CeIO sentiasa diterapkan oleh beliau dalam keluarga dan organisasi tempat beliau mencari rezeki.\nPada 4 Julai 2020, iaitu sehari sebelum bersara daripada perkhidmatan, Azmi Ahmad dipilih sebagai Timbalan Presiden ACeIO untuk sesi 2020 \u2013 2022. Ketika dihubungi, beliau memaklumkan bahawa beliau bersyukur kerana sebagai pesara, beliau kini mempunyai lebih masa untuk bersama-sama keluarga.\nMenjawab pertanyaan tentang sebab beliau masih bersemangat untuk bersama-sama ACeIO, beliau menegaskan bahawa beliau ialah CeIO yang dilatih oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA). Beliau perlu menjaga imej dan jati diri CeIO yang melekat kepada dirinya sepanjang hayat. Beliau juga bertanggungjawab untuk menjaga imej MACA yang melahirkan CeIO hasil daripada agenda integriti dan antirasuah negara.\nBersara daripada perkhidmatan bukan bermakna perlu bersara daripada perjuangan memartabatkan integriti.\nPada beliau, ACeIO ialah entiti unggul yang ada untuk menjamin kesinambungan perjuangan CeIO dalam membudayakan integriti di negara ini. Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan bahawa beliau akan terus bersama-sama para sahabat CeIO yang lain bagi menjayakan agenda ACeIO sama ada atas sebab jawatan atau sebagai ahli biasa.\nFadli Mat Yusof, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah turut berterima kasih kepada ACeIO yang sentiasa membantu dan mengadakan program bagi menyuburkan budaya integriti dalam kalangan masyarakat. Beliau yang juga dikenali sebagai YB (Yang Berkhidmat) Fadli dalam kalangan masyarakat setempatnya turut menyeru semua pihak untuk bersama-sama ACeIO bagi menjayakan agenda integriti nasional itu.\nBeliau juga menyeru semua pihak untuk turut bersama-sama membantu masyarakat yang terkesan dengan pandemik COVID-19 yang melanda kerana hal yang demikian juga merupakan nilai integriti yang perlu diamalkan. Ketika dihubungi, beliau sedang mengagihkan sumbangan kepada jiran-jiran yang memerlukan di sekitar tempat tinggalnya." "Keputusan STPM Diumumkan 1 Julai 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), hari ini dalam kenyataan medianya memaklumkan bahawa keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun 2020 akan diumumkan pada 1 Julai 2021 (Khamis), bermula pada \u00a0pukul 12:00 tengah hari.\nOleh itu, calon\u00a0 sekolah kerajaan, bantuan kerajaan, swasta dan persendirian individu boleh mendapatkan keputusan masing-masing melalui empat kaedah seperti yang berikut:\n(a) Semakan keputusan penuh (slip keputusan) secara dalam talian melalui http://stpm.mpm.edu.my/stpmK pada 1 Julai 2021 (Khamis), mulai pukul 12:00 tengah hari.\n(b) Semakan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) keputusan dengan menaip STPMNo. K/PAngka Giliran dan hantar ke 68886 pada 1 Julai 2021, mulai pukul 11:00 pagi hingga 9 Julai 2021 (Jumaat), pukul 12:00 tengah hari.\n(c) Keputusan calon akan dihantar oleh MPM terus ke alamat e-mel calon pada 1 Julai 2021, mulai pukul 11:00 pagi, iaitu bagi calon yang membekalkan alamat e-mel kepada MPM.\n(d) Bagi calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan, swasta dan persendirian individu yang tidak mempunyai capaian Internet, pihak jabatan pendidikan negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD) dan sekolah akan mengenal pasti calon tersebut dan akan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk calon mendapatkan keputusan masing-masing." "Penandaan Jantina dalam Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDi seluruh mayapada, segala hidupan berkaitan dengan sifat jantinanya, iaitu sama ada lelaki atau perempuan, jantan atau betina. Walaupun terdapat ikan yang dapat bertukar jantina dan sesetengah siput hermafrodit yang dwijantina, hal tersebut merupakan kecualian daripada kebiasaan alam.\nOleh sebab terdapat perbezaan jantina antara hidupan ciptaan Tuhan, ada bahasa yang mengutamakan mekanisme penandaan jantina untuk manusia atau hidupan lain, dan ada pula bahasa yang kurang mengutamakannya.\nBagi bahasa Melayu, perbezaan jantina pada umumnya tidak menghasilkan nama khusus tetapi dijelaskan dengan kata penerang lelaki, perempuan, jantan atau betina. Keadaan yang serupa juga pada umumnya dimanifestasikan oleh bahasa tertentu, seperti bahasa Cina dan bahasa Jepun. Namun demikian, pada umumnya, bahasa Inggeris membezakan jantina dengan kata nama khusus. Sila lihat contoh yang berikut:\n\u00a0\nBagi bahasa Melayu, penandaan jantina kurang penting berbanding dengan penandaan kedudukan. Hal ini kelihatan pada contoh seperti gelaran tuan puteri, dan gelaran tuan pengarah bagi pengarah lelaki atau perempuan.\nWalau bagaimanapun, apabila bahasa Melayu bertembung dengan bahasa lain seperti bahasa Sanskrit, bahasa Arab dan bahasa Inggeris yang mengutamakan pembezaan wanita, penandaan jantina mendapat tempat bagi sesetengah perkara dalam masyarakat kita. Sila lihat contoh yang berikut:\n\u00a0\nPadanan antara bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu dapat kita kesan bagi perkara tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:\n\u00a0\nWalau bagaimanapun, ada kalanya bahasa Melayu dan bahasa Inggeris tidak ada nama khusus yang berkaitan dengan perbezaan jantina, terutamanya bagi kata nama umum atau kata superordinat. Sila lihat contoh yang berikut:\n\u00a0\nWalau bagaimanapun, disebabkan gerakan feminisme dan usaha untuk menyamakan kedudukan lelaki dengan perempuan, kini terdapat juga kecenderungan untuk menggunakan kata umum yang neutral jantina dalam bahasa Inggeris. Sila lihat contoh yang berikut:\n\u00a0\nAda kalanya kata jantina menampakkan perbezaan dari segi tahap penghormatan. Sebagai contoh, kata wanita dianggap lebih mulia berbanding dengan kata perempuan.\u00a0 Malahan, kata betina ada kalanya menjadi panggilan kesat kepada perempuan yang kelakuannya menyimpang daripada norma masyarakat.\nAda kalanya kata jantan dikaitkan dengan benda tetapi mendukung maksud yang lain daripada perbezaan jantina. Sila lihat contoh yang berikut:\n\u00a0\nSatu hal yang menarik ialah sifat jantina ada kalanya berkaitan dengan kata adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:\n\u00a0\nAda kalanya, bentuk nama ahli masyarakat kita juga menggambarkan pembezaan jantina. Selain itu, mungkin terdapat padanan dengan menggunakan penambahan akhiran -ah. Sila lihat contoh yang berikut:" "Tiada Kompromi Soal Integriti dalam Pengurusan Organisasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 \u201cTiada kompromi soal integriti dalam pengurusan organisasi\u201d. Itulah kenyataan tegas Peguam Cara Negara, Dato\u2019 Abdul Razak Musa ketika dihubungi bagi mengulas perkara ini. Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO) agar memperluas peranannya bagi memantau dan menasihati agensi serta organisasi, khususnya berhubung dengan prosedur pengurusan kes-kes tatatertib agar diperkemas. Beliau juga mencadangkan pegawai integriti yang ditempatkan di jabatan dan agensi memainkan peranan lebih aktif supaya peranan dan tanggungjawab dapat dilihat dengan jelasnya.\nDato\u2019 Abdul Razak menyokong dan menyambut baik segala usaha yang telah dilaksanakan oleh ACeIO dalam membudayakan integriti. Walau bagaimanapun, beliau menasihati ACeIO agar turut memperkukuh hala tuju serta memperkemas Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan organisasinya agar tidak menjejaskan imej dan kredibiliti. Tambahan pula dengan keahliannya yang terdiri daripada para pegawai integriti bertauliah, soal integriti memang tidak boleh dikompromi sama sekali.\nKenyataan tegas Peguam Cara Negara ini mendapat maklum balas positif daripada ACeIO. Ungku Mohamad Alhady Ungku Mohd Zam yang merupakan Bendahari ACeIO ketika mengulas perkara ini bersetuju supaya peranan pegawai integriti diperluas di agensi dan organisasi. Beliau turut menyatakan bahawa ACeIO juga bersetuju dengan saranan Peguam Cara Negara supaya ACeIO mengamalkan pengurusan berasaskan integriti (Integrity Based Financing), khususnya dalam pengurusan kewangan. Menurut Alhady, ACeIO sentiasa memberikan penekanan kepada aspek nilai untuk wang (value for money) dan kos rendah berimpak tinggi (low cost high impact) dalam pengurusannya. Hal ini bagi mengelakkan sebarang pemborosan, pembaziran, penyelewengan serta salah guna kuasa yang merupakan pelanggaran integriti yang serius berlaku dalam pengurusan. Beliau turut bersetuju bahawa ahli ACeIO tidak boleh terlibat dengan sebarang unsur yang boleh menjejaskan reputasi dan integriti.\nMengulas lanjut, Alhady yang merupakan antara pengasas ACeIO menyatakan bahawa pelanggaran integriti dalam organisasi adalah umpama wabak penyakit yang membarah. Jika tidak dicegah dan diubati, pasti penyakit tersebut menyerang sehingga runtuh sesebuah institusi. Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan masyarakat agar berhati-hati dalam pemilihan menu makanan. \u201cMakanan boleh menjadi punca penyakit sama ada penyakit jasmani mahupun rohani. Penyakit jasmani berpunya daripada pemakanan yang tidak bersih dan beracun, manakala penyakit rohani pula disebabkan pemakanan yang tidak berkat dan tidak halal serta mengambil hak orang lain,\u201d ujar Alhady.\nRosli Husin, Pengarah SPRM Negeri Kelantan ketika dihubungi di pejabatnya bersetuju dan menyokong sepenuhnya kenyataan Dato\u2019 Abdul Razak bahawa soal integriti tidak boleh dikompromi dalam pengurusan organisasi. Beliau juga berpendapat bahawa penyeliaan yang rapi dan tindakan yang tegas adalah perlu dalam memastikan tahap integriti serta disiplin warga organisasi sentiasa terpelihara. Beliau turut menegaskan bahawa ketua jabatan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap integriti warga di bawah penyeliaannya. Rosli turut senada dengan pandangan Bendahari ACeIO bahawa pemakanan adalah punca kepada penyakit dan keruntuhan nilai integriti. Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan masyarakat tentang peri pentingnya seseorang itu berkerja dan mencari rezeki yang halal dengan mengelakkan diri daripada rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Menurut beliau lagi, rezeki yang bersih dan halal pasti membawa berkat jika dinikmati serta dikongsi.\nWan Hardilah Wan Husain, seorang kakitangan bank di ibu kota turut menyambut baik ketegasan Peguam Cara Negara apabila menyentuh isu integriti dalam pengurusan organisasi. Beliau yang juga bekas pemain bola tampar kebangsaan turut bersetuju dengan pandangan Bendahari ACeIO dan Pengarah SPRM Negeri Kelantan bahawa pemakanan mempengaruhi kesejahteraan hidup. Sehubungan dengan itu, beliau mengajak semua masyarakat Malaysia supaya mengamalkan gaya hidup sihat dan berintegriti tanpa rasuah." "Irmohizam Dilantik sebagai Profesor Pelawat di Universiti Huaqiao, China\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pengarah Eksekutif World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Dato\u2019 Sri Dr. Irmohizam Ibrahim, telah dilantik sebagai Profesor Pelawat di Center of Malaysia Scholars, Kolej Perhubungan Antarabangsa, Universiti Huaqiao, Fujian, China. Pelantikan beliau sebagai Profesor Pelawat adalah untuk satu penggal, iaitu selama lima tahun ini disempurnakan pada 7 Jun 2021.\nIrmohizam berkata, \u201csaya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Universiti Huaqiao atas pelantikan ini. Saya amat berbesar hati untuk melaksanakan mandat yang telah diberikan. Peluang ini sangat baik kerana saya lihat terdapat pelbagai peluang untuk berkolaborasi antara universiti tempatan di Malaysia dengan Universiti Huaqiao.\u201d\nTambah Irmohizam yang juga merupakan Pengerusi Persidangan dan Pameran Asia Pasifik, Majlis Penasihat Anggota World Trade Centers Association (WTCA), \u201ckolej berprestij ini sememangnya akan memanfaatkan perkongsian budaya dan kecemerlangan akademik untuk para pelajar. Saya berharap agar dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan dan menyumbang bakti di universiti berprestij ini.\u201d\nKolej Perhubungan Antarabangsa, Universiti Huaqiao, ditubuhkan pada April 2015 bertujuan untuk mempromosikan pertukaran dan kerjasama akademik domestik dan antarabangsa antara negara-negara jiran. Selain itu, kolej ini ialah institusi penyelidikan akademik yang komprehensif yang memberikan pendedahan kepada para pelajarnya dalam pengajian diplomasi dan perhubungan antarabangsa." "Konvokesyen Pertama KISS\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBhubaneswar\u00a0\u2013 Kalinga Institute of Social Sciences (KISS) yang berpangkalan di Odisha, India, telah menganjurkan konvokesyen pertamanya untuk para mahasiswa yang lulus, pada 27 Jun 2021. Majlis tersebut diadakan secara hibrid \u2013 fizikal dan maya \u2013 dengan mengambil kira protokol semasa pandemik COVID-19.\nSebanyak 143 orang mahasiswa dianugerahkan ijazah kerana berjaya menamatkan kursus ijazah sarjana dan sarjana falsafah mereka. Pada majlis tersebut, siswazah yang paling cemerlang dan berbakat telah dianugerahkan Pingat Emas Pengasas, Pingat Emas Canselor dan Pingat Perak Naib Canselor.\nPengasas KISS, Profesor (Dr.) Achyuta Samanta berkata, \u201cpada majlis bersejarah ini, saya mengucapkan terima kasih dengan tulus ikhlas kepada semua pihak atas sokongan padu yang diberikan. Saya ingin menyampaikan rasa terima kasih saya kepada pengirim ucap selamat KISS atas cinta, kasih sayang dan kepercayaan mereka terhadap perjuangan kami.\u201c\nTambah beliau, \u201cdengan pertumbuhan institut ini, saya sentiasa bercita-cita untuk mendapatkan status universiti untuk KISS bagi meningkatkan kredibilitinya sebagai sebuah institusi yang komited dalam melakukan penyelidikan kajian kesukuan oleh cendekiawan suku.\u201c\nBerdasarkan rekod yang cemerlang, KISS telah menjadi Disifatkan sebagai Universiti (Deemed to be University) eksklusif yang pertama bagi suku kaum di dunia pada tahun 2017 \u2013 status yang diberikan oleh kementerian yang sebelum ini dikenali sebagai Pembangunan Sumber Manusia, Kerajaan India." "Kehadiran CeIO Perlu Dirasai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSeremban \u2013 Kehadiran Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) perlu dirasai oleh masyarakat. Sebagai duta integriti, CeIO perlu turun padang dan mengambil tahu isu semasa yang dihadapi oleh masyarakat supaya dapat dirasai kehadirannya. Peranan CeIO yang dilahirkan oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) sebagai pengurus integriti di organisasi perlu diperkembangkan menjadi komunikasi utama kepada usaha pengukuhan integriti dan antirasuah dalam masyarakat.\nMengulas perkara ini, Kamarudin M. Ripin, Pengarah Komunikasi Strategik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh CeIO bukan sahaja perlu dimanfaatkan kepada organisasi masing-masing tetapi juga perlu dimanfaatkan untuk pembudayaan integriti dalam masyarakat.\nMengulas lanjut, beliau berharap agar CeIO melalui Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) Malaysia juga dapat bersama-sama SPRM menjayakan setiap agenda integriti dan antirasuah negara. Beliau juga mengalu-alukan sebarang input dan maklumat berkaitan dengan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa supaya dapat disalurkan oleh CeIO kepada SPRM dengan segera supaya tindakan dapat diambil secara efektif.\nIr. Normayasuria Abd Malek, seorang ketua jabatan kerajaan di Negeri Sembilan bersetuju dengan saranan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM ini. Beliau yang juga merupakan Pengerusi Perhubungan ACeIO Negeri Sembilan berkata, kehadiran CeIO dalam masyarakat boleh menjadi penghubung antara masyarakat dengan pihak berkuasa dalam penyaluran maklumat berkaitan dengan integriti dan antirasuah. Apatah lagi dengan keadaan negara yang masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan ini, ACeIO boleh membantu kerajaan dan pihak berkuasa dengan menggerakkan ahlinya sama ada di peringkat negeri mahupun daerah untuk menyelami degup dan hati masyarakat serta membantu menyalurkannya kepada pihak yang berkenaan. Beliau mengulas perkara ini semasa berkongsi pengalaman di IM ACeIO, pelantar perkongsian amalan terbaik integriti secara dalam talian yang disediakan oleh ACeIO hari ini.\nTaib Rahman, seorang pesara kerajaan menyambut baik kesediaan CeIO untuk membantu masyarakat dalam penyaluran maklumat kepada pihak berkuasa. Masyarakat luar bandar khususnya yang menghadapi kekangan dari segi pergerakan, disarankan untuk memilih saluran yang tepat bagi menyuarakan pandangan berhubung dengan isu integriti dan rasuah yang berlaku di sekitar mereka. Sehubungan dengan itu, beliau mengalu-alukan kehadiran ACeIO dan SPRM bagi mendekati masyarakat dan bertindak menangani isu integriti dan rasuah dengan berkesan." "YMMRC Optimis Membantu Golongan yang Memerlukan Bantuan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Penularan pandemik COVID-19 yang masih lagi tidak menunjukkan penurunan kes yang ketara cukup memberikan kesan kepada masyarakat terutamanya kumpulan B40. Menyedari keperitan yang dialami oleh masyarakat, Pergerakan Pemuda Malaysia (Cawangan Jalan Raja Chulan) atau lebih dikenali sebagai YMM Raja Chulan (YMMRC) yang juga merupakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) telah merancang satu program yang sewajarnya dengan tujuan untuk membantu golongan yang terkesan dengan pandemik ini terutama golongan dalam kategori kemiskinan mutlak (absolute poverty) dan juga kemiskinan relatif (relative poverty).\nBak kata pepatah, \u201cbulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat\u201c. Oleh itu, pada 26 Jun 2021 yang lalu, YMMRC yang turut bernaung di bawah Pertubuhan Belia Malaysia sejak 12 tahun yang lalu, telah bersepakat antara ahlinya untuk turun padang bersama-sama melaksanakan pelan bantuan dengan mengedarkan sebanyak 200 pek makanan kepada golongan gelandangan di sekitar Jalan Pudu dan Pasar Seni.\nTidak hanya terhad kepada pengedaran makanan, YMMRC juga membuat agihan barangan keperluan harian seperti beras, bawang, minyak masak dan keperluan lain kepada penduduk pangsapuri kos rendah di kawasan sekitar Kajang, Selangor. Sumbangan makanan dan barangan keperluan harian ini merupakan dermaan atau sumbangan daripada orang awam. Sebanyak 80 buah keluarga berpeluang menerima sumbangan tersebut.\nWalaupun program ini diatur secara fizikal, namun ahli YMMRC sangat menitikberatkan Prosedur Operasi Standard (SOP). Sepanjang proses pengagihan barangan dan makanan, ahli YMMRC yang terlibat sentiasa mematuhi SOP dengan memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE), memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.\nPelaksanaan pelan bantuan ini telah berlangsung selama seharian dari pukul 10.00 pagi hingga 5.30 petang. Sungguhpun begitu, ahli YMMRC berasa gembira dan teruja kerana usaha mereka sedikit sebanyak dapat membantu menyediakan keperluan asas bagi golongan berkenaan untuk meneruskan kehidupan harian mereka.\nMenurut Choong Cui Mei (Nicole), Timbalan Setiausaha YMMRC yang terlibat dalam pelan bantuan ini, \u201cKerana rasa kasih dan cinta, dunia akan menjadi lebih indah\u201d.\u00a0 Dengan adanya bantuan daripada masyarakat, kita dapat mengatasi cabaran yang dialami secara bersama.\nPada waktu yang sama, Pengerusi YMMRC, Ang Soong King (Jeff), juga menyeru agar orang ramai turut menghulurkan bantuan kepada golongan ini atas nilai kemanusiaan.\nOleh yang demikian, YMMRC menggariskan misi mereka untuk memperkenalkan pelan yang sewajarnya berdasarkan kerjasama yang dijalin dengan pihak berkemampuan atau peniaga agar mereka diberikan peluang bekerja atau melakukan aktiviti sosial yang lain untuk meningkatkan taraf hidup mereka.\nSeperti kata pepatah ini, \u201cmemberikan pancing lebih baik daripada memberi ikannya\u201c. Sehubungan dengan itu, YMMRC berpendirian bahawa adalah lebih bermanfaat sekiranya mereka dapat memberikan tunjuk ajar dan/atau memberikan sokongan yang sewajarnya kepada golongan yang memerlukan supaya mereka dapat mencari rezeki dengan keringat mereka sendiri.\nPelbagai pihak perlu tampil memberikan bantuan pada saat masyarakat hilang punca mata pencarian. Maka, hulurkanlah bantuan kepada mereka kerana walaupun dengan sedikit bantuan yang diberikan, nescaya sumbangan tersebut akan dapat memberikan sinar hidup baharu kepada mereka yang memerlukan." "Sistem Depositori PNM Atasi Kerumitan Permohonan ISBN\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada hari ini, 29 Jun 2021, Sistem Depositori yang telah dibangunkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah dilancarkan oleh YBhg. Dato\u2019 Dr. Noor Zari Hamat, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia.\nSistem Depositori yang dibangunkan ini menyediakan perkhidmatan kepada penerbit untuk menghantar bahan digital secara dalam talian seperti yang disyaratkan di bawah Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331).\nSistem ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada penerbit yang meliputi modul pendaftaran penerbit, permohonan ISBN (International Standard Book Number) dan ISSN (International Standard Serial Number) serta pengkatalogan dalam penerbitan (PdP).\nSelain daripada meningkatkan mutu perkhidmatan kepada penerbit, sistem ini juga dilengkapi dengan sistem keselamatan yang tinggi bagi memastikan setiap born digital yang diserahkan di bawah Akta 331 ini selamat dibuat penyulitan (encryption).\nSistem yang boleh dicapai menerusi pautan https://depositori.pnm.gov.my turut dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan kandungan bahan dan pengurus hak digital (digital rights management) bagi tujuan keselamatan dan perlindungan bahan digital khususnya pemeliharaan daripada penyalahgunaan paten, penyalinan dan hak cipta.\nPelancaran sistem ini telah dibuat bersekali dengan perasmian program Bicara Penerbit Malaysia 2021 yang diadakan pada tarikh dan masa yang sama.\nProgram yang telah mengangkat tema \u201cSistem Depositori Lambang Pengukuhan Khazanah Intelek Negara\u201d ini merupakan acara dwitahunan yang juga kesinambungan daripada program Seminar Sehari Bersama Penerbit yang pernah diadakan pada 6 Ogos 2019.\nMengambil kira perkembangan semasa akibat daripada penularan COVID-19, program pada kali ini dilaksanakan secara dalam talian menerusi pendekatan telesidang.\nDalam ucapan perasmiannya, Dato\u2019 Dr. Noor Zari menyatakan bahawa inisiatif PNM membangunkan Sistem Depositori merupakan satu langkah yang amat bijak.\nHal ini selaras dengan saranan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBhg. Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman agar penjawat awam meneroka teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) dengan mengamalkan kebiasaan baharu dalam penyampaian perkhidmatan awam dari hujung ke hujung (end to end).\nPeluasan adaptasi digital dalam kebiasaan baharu perkhidmatan awam ini adalah selari dengan hasrat kerajaan ke arah sistem yang berteraskan kerajaan digital. Melalui sistem ini urusan penerbitan buku di Malaysia akan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan efisien.\nTambah beliau lagi, PNM turut menyediakan peruntukan pembelian koleksi melalui dana penulis. Dana penulis ini merupakan satu cara untuk melahirkan lebih ramai penulis muda yang menjadi penerbit. Bahan yang dibeli melalui dana penulis ini ialah bahan bacaan santai yang ditempatkan di perpustakaan desa di seluruh negara.\nKetua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Puan Salasiah Abdul Wahab pula dalam ucapan alu-aluan menyatakan bahawa \u201cDalam konteks PNM sebagai pusat penyerahan terbitan negara, PNM sentiasa peka dengan trend perubahan khususnya dalam menguruskan data-data penerbitan, bahan bacaan berbentuk elektronik yang semakin pesat diterbitkan hari ini.\u201d\nUntuk tujuan itu, PNM telah mempelopori pemberian e-ISBN yang khusus untuk bahan-bahan bacaan dalam bentuk elektronik. Sistem pemberian nombor ISBN yang pertama seumpamanya telah digunakan di dunia bagi membezakan antara bahan dalam bentuk fizikal dengan bahan dalam bentuk digital.\nTrend permohonan e-ISBN juga dilihat semakin meningkat daripada 1648 permohonan pada tahun 2019 kepada 2401 permohonan pada tahun 2020. Demikian menurut Ketua Pengarah PNM.\nSelepas sesi pelancaran, program diteruskan pula dengan Sesi Demonstrasi Penggunaan Modul Perkhidmatan kepada Penerbit dan Modul Serahan Bahan Digital, Ceramah Keselamatan Hak Cipta Penerbitan terhadap Bahan Born Digital dan Ceramah Amalan dan Praktis Pemuliharaan Bahan Born Digital." "BDR Bukan Tiket Percutian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 \u201cKebenaran berkerja dari rumah (BDR) bukan tiket untuk bercuti dan melupakan tugas rasmi di pejabat.\u201c Demikian menurut Pengarah Kecemerlangan dan Profesionalisme Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tuan Ismajuri Ismail, yang mengingatkan semua pihak khususnya ketua jabatan untuk sentiasa memantau dan memastikan warga kerja mematuhi pekeliling dan arahan yang berkuatkuasa berhubung dengan BDR. Beliau yang juga seorang Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) turut mengingatkan semua pihak khususnya CeIO untuk sentiasa menjaga integriti diri dan organisasi dalam setiap tindak tanduk harian.\nMenurut Pengerusi Perhubungan Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) Negeri Perak yang juga merupakan seorang ketua jabatan di Ipoh, Perak, Ir. Jeffryl Azniel Adzar, beliau akan memastikan kakitangannya yang BDR untuk melaporkan diri secara harian kepadanya. Perkara ini dilakukan melalui aplikasi dalam talian atau melalui telefon. Kedudukan semasa kakitangan pada waktu BDR juga turut dilaporkan dari semasa ke semasa melalui perkongsian lokasi semasa.\nSiti Nazirah Borhan, seorang kakitangan pejabat di Putrajaya mengalu-alukan pemantauan dan penyeliaan berterusan yang dilaksanakan oleh ketua jabatannya semasa beliau BDR. Selain memastikan pematuhan kepada peraturan BDR, beliau juga dapat berkongsi serta melaporkan status pelaksanaan tugas yang dilakukan kepada ketua jabatannya setiap kali dihubungi. Biarpun mengakui agak kurang selesa menyiapkan tugasan secara BDR, tetapi beliau akur kepentingan untuk menamatkan pandemik yang melanda negara ketika ini perlu diutamakan. Sehubungan dengan itu, beliau berpesan kepada semua warga kerja yang BDR untuk bersama-sama mematuhi sepenuhnya peraturan dan menggunakan masa BDR sepenuhnya untuk tugasan rasmi sahaja." "Tiada Kompromi Soal Integriti demi Kesejahteraan Rakyat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAlor Setar, Kedah \u2013 Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertindak tegas terhadap semua pihak yang gagal mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa dalam menangani pandemik yang melanda negara demi kesejahteraan masyarakat Malaysia.\nKetua Polis Kedah, Datuk Kamarulzaman Mamat menegaskan perkara ini ketika dihubungi selepas pemeriksaan mengejut di beberapa buah kilang yang tetap beroperasi pada ketika ini. \u201cKesejahteraan rakyat negara ini bukan untuk digadaikan oleh mana-mana pihak yang tidak berintegriti. Maruah negara dan kesejahteraan rakyat perlu diutamakan dalam setiap keadaan,\u201d ujar beliau.\nPengerusi Perhubungan Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO) Negeri Pulau Pinang, Dr. Khairul Anuar Che Azmi, menyokong ketegasan pihak berkuasa dalam penguatkuasaan undang-undang dan peraturan yang berkaitan. Beliau yang juga pengamal undang-undang memuji ketegasan PDRM dan menyarankan semua pihak agar menghormati dan mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa. \u201cJika undang-undang dan peraturan gagal ditegakkan, maka hal ini boleh membawa bencana dan kemudaratan yang lebih besar kepada masyarakat dan negara,\u201d jelas Khairul Anuar.\nDalam pada itu, Pengarah Keselamatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohammad Soib Abdullah, menegaskan kepentingan semua pihak untuk menghormati dan mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa. Sebagai penguat kuasa undang-undang, soal integriti tidak boleh dijual beli, apatah lagi apabila melibatkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.\nAdzahar Derani, mewakili masyarakat yang menetap di Cheras, Kuala Lumpur, menyokong penuh iltizam dan ketegasan pihak berkuasa dalam menguatkuasakan undang-undang tanpa kompromi. Adzahar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penguat kuasa undang-undang atas peranan yang dilaksanakan demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Beliau turut berterima kasih dan mengalu-alukan peranan ACeIO untuk membudayakan integriti dalam kalangan masyarakat." "STPM 2020 Mencatatkan PNGK Nasional 2.78\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSelayang, Selangor \u2013 PNGK (Purata Nilai Gred Keseluruhan) Nasional Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2020 meningkat daripada 2.77 pada tahun 2019 kepada 2.78 pada tahun 2020. Hal yang demikian diumumkan oleh Ahli Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly.\nMenurut Wahid, secara keseluruhannya, pencapaian calon STPM 2020 dianggap masih sama dengan pencapaian calon STPM 2019 disebabkan perbezaan peningkatan yang sangat kecil, iaitu sebanyak 0.01 mata. Tambah beliau, \u201cperbezaan peningkatan ini tidak menggambarkan siginifikan yang besar kepada pencapaian calon STPM 2020 secara keseluruhannya berbanding dengan calon STPM 2019.\u201c\n\u201cSebanyak 741 orang calon atau 1.72 peratus calon telah mendapat PNGK 4.00. Daripada jumlah ini, sebanyak 554 orang calon (74.76 peratus) ialah golongan B40,\u201c kata Wahid menerusi majlis Pengumuman Keputusan STPM 2020 yang berlangsung secara maya dari MPM, pada pukul 12.00 tengah hari tadi. Beliau turut berkata, \u201cdari segi perbandingan pencapaian PNGK calon bandar dengan luar bandar, didapati PNGK calon bandar masih mengatasi PNGK calon luar bandar dengan masing-masing PNGK 2.80 dan 2.78. Walau bagaimanapun, perbezaan jurang pencapaian antara calon bandar dengan luar bandar sama seperti pada peperiksaan STPM 2019, iaitu sebanyak 0.02 mata.\u201c\nSTPM 2020 juga mencatatkan 741 orang calon mendapat PNGK 4.00. Daripada jumlah ini, sebanyak 23 orang calon mendapat keputusan 5A dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil, manakala sebanyak 718 orang calon memperoleh 4A. Secara keseluruhannya, bilangan calon yang mendapat PNGK 4.00 berkurang sebanyak 7.61 peratus berbanding pada tahun lepas, iaitu daripada 802 orang calon pada tahun 2019 kepada 741 orang calon pada tahun 2020.\nSemakan keputusan STPM 2020 boleh dilakukan dengan cara berikut:" "Standard STPM 2020 Ditetapkan Secara Efisien\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSelayang \u2013 Penetapan standard Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2020 yang diumumkan pada hari ini dilaksanakan dengan efisien melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pensijilan STPM 2020 dengan dinasihati dan diselia oleh Cambridge Assessment International Education, United Kingdom (UK). Nasihat dan penyeliaan secara berterusan dari Cambridge Assessment International Education, UK adalah bertujuan untuk mengekalkan standard yang telah dilaksanakan semenjak STPM 1982 dan STPM diterima pada peringkat antarabangsa.\nPengiktirafan dari Cambridge Assessment International Education, UK ini terzahir di belakang sijil STPM. Calon boleh menggunakan sijil STPM untuk memohon ke universiti luar negara. Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) juga akan memastikan peperiksaan STPM dan Malaysian University English Test (MUET) dikelolakan mengikut standard piawaian seperti yang telah dianugerahkan kepada MPM dengan Sijil Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2015 (QMS01934) yang telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.\nMPM akan terus memperkasakan jalinan hubungan dengan International Association for Educational Assessment (IAEA), USA, iaitu sebuah pertubuhan antarabangsa yang dianggotai oleh badan pentaksiran pendidikan yang terkemuka di dunia dan diiktiraf pada peringkat antarabangsa dalam bidang pentaksiran selaras dengan keahlian MPM sebagai ahli tetap IAEA sejak tahun 1984.\nSelain itu, MUET juga telah disejajarkan mengikut Sukatan dan Spesifikasi MUET selaras dengan Common European Framework of Reference (CEFR) mulai MUET Sesi 1 2021. Hal ini bertujuan untuk memperkasakan standard MUET 9 mengikut piawai antarabangsa dan sejajar dengan usaha mengantarabangsakan MUET ke pasaran luar negara. MPM juga berjaya menerobos pasaran MUET di Jakarta dan Lombok, Indonesia pada tahun 2019.\n\n\u00a0\nSebagai permulaan, Way Forward MPM dan sebagai tindakan pasca-COVID-19, pada tahun 2020, MPM telah melaksanakan pemeriksaan secara dalam talian (e-marking) terhadap dua mata pelajaran, iaitu Syariah (930) dan Teknologi Maklumat (ICT) (958). MPM merancang untuk melaksanakan pemeriksaan secara dalam talian terhadap semua mata pelajaran pada masa depan berdasarkan ketetapan prosedur yang sedia ada.\nSebagai tambahan kepada rancangan Way Forward MPM juga, dan natijah daripada implikasi COVID-19, pada tahun 2020, MPM buat pertama kalinya telah melaksanakan peperiksaan secara e-Testing, iaitu peperiksaan secara dalam talian sepenuhnya kepada bakal doktor pakar perubatan peperiksaan Medical Specialist Pre-Entrance Examinations (MedEx) 2020. e-Testing yang berikutnya yang bakal dikendalikan oleh MPM ialah peperiksaan Imtihan al-Kafaah Li a-Lughah al-Arabiyyah (IKLA) yang akan dikendalikan oleh MPM bagi pihak Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Melalui e-Testing ini, calon boleh menduduki peperiksaan di tempat masing-masing tanpa perlu bergerak ke pusat peperiksaan." "Pengamal Media Duta Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Media memainkan peranan yang penting dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Keberkesanan dalam menyampaikan maklumat juga dipengaruhi oleh penggunaan bahasa yang betul dan baik. Adalah menjadi tanggungjawab para pengamal media untuk menggunakan bahasa Melayu yang baik sama ada dalam penulisan mahupun dalam penyampaiannya.\nSehubungan dengan itu, bersempena dengan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022, BERNAMA TV telah menjemput Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari berkongsi isu tersebut dalam rancangan Malaysia Petang Ini (MPI) bersama-sama pengacaranya, Hillman Jamil dan Ziana Nasir yang bersiaran pada malam tadi.\nDr. Hazami memulakan perkongsiannya dengan menyatakan bahawa hasil kecangggihan teknologi maklumat kini, masyarakat begitu selektif dalam memilih media untuk menerima maklumat. Walau bagaimanapun, bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat, media arus perdana seperti BERNAMA TV masih menjadi rujukan utama.\nSecara keseluruhannya, penggunaan bahasa dalam media dalam kalangan pengamal media arus perdana adalah baik tetapi masih ada ruang untuk diperbaiki dan dipertingkatkan. Tambah beliau lagi, pengamal media arus perdana dapat mendukung usaha kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara kita. Namun begitu, bagi media alternatif, penggunaan bahasa\u00a0 Melayu berada pada tahap yang membimbangkan kerana banyak penggunaan bahasa yang tidak betul dan tidak tepat berlaku.\nKesalahan lazim yang kebanyakannya dibuat oleh pengamal media adalah yang berkaitan dengan tatabahasa dan kesalahan ejaan bagi media bercetak. Contohnya ialah ejaan perkataan \u201cjalan raya\u201d dan \u201clebuh raya\u201d yang perlu dieja secara berasingan tetapi acap kali dieja sebagai satu perkataan.\nMenurutnya lagi, kesalahan yang selalu berlaku ketika pengamal media bersiaran secara langsung ialah penggunaan perkataan \u201cdari\u201d dan \u201cdaripada\u201d. Kebanyakan penyampai juga menggunakan perkataan \u201c.bersiaran langsung daripada Parlimen\u201d dan ayat itu tidak betul kerana perkataan yang betul dan tepat ialah \u201c.bersiaran langsung dari Parlimen\u201d.\nSelain itu, wartawan juga seringkali menggunakan perkataan \u201chati-hati di jalan raya\u201d sedangkan ayat yang tepat ialah \u201cberhati-hati di jalan raya\u201d. Kesalahan tersebut terjadi secara berulang kali tanpa sedar yang akhirnya boleh mempengaruhi masyarakat yang beranggapan bahawa penggunaan bahasa tersebut sebagai betul dan tepat.\nSistem sapaan juga adalah antara kesalahan yang sering dilakukan oleh pengamal media. Menurut Dr. Hazami, bahasa bukan sahaja digunakan untuk menyampaikan maklumat, bahkan mengandungi nilai budaya dan budi bahasa.\n\u201cJika kita menyapa seorang tokoh dan pemimpin yang hebat secara santai, kita dilihat seolah-olah tidak begitu memberikan penghormatan sewajarnya. Contohnya, penggunaan Yang Berhormat yang disingkatkan kepada YB dalam temu bual. Penggunaan tersebut walaupun tidak salah tetapi antara bentuk penambahbaikan yang boleh dibuat oleh para pengamal media,\u201c jelas beliau.\nDari sudut penyampai berita yang mempunyai skrip, tidak timbul penggunaan bahasa rojak dan bahasa slanga. Walau bagaimanapun, bagi pengamal media yang melaporkan berita siaran langsung, kesalahan bahasa tersebut jelas berlaku dalam penyampaian mereka.\nPenggunaan bahasa yang baik adalah perlu kerana wartawan merupakan duta bahasa bagi masyarakat. Jika penggunaan bahasa rojak dan slanga digunakan, sedikit banyak akan mempengaruhi masyarakat.\nPenyampaian dalam bahasa tinggi juga perlu digunakan oleh pengamal media dalam usaha untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu. Tambahnya lagi, seorang duta Perancis yang datang ke Malaysia pernah menyatakan bahawa beliau tidak dapat belajar bahasa Melayu di negara ini melalui radio kerana penggunaan bahasa Melayu yang ada bercampur aduk tetapi berlainan dengan halnya di negara jiran, Indonesia.\nSebagai duta bahasa, para pengamal media perlu menguasai aspek tatabahasa dan yang paling penting, tidak sesekali mencampuradukkan kod bahasa dalam penyampaian mahupun penulisan masing-masing.\nDBP juga mempunyai Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang boleh diakses 24 jam secara dalam talian bagi pengamal media selain pelbagai kursus pemantapan bahasa Melayu oleh pihak Akademi DBP dalam usaha untuk menambah baik penggunaan bahasa Melayu.\nWartawan dan pengamal media juga boleh membantu hasrat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu melalui penyiaran laporan dalam bahasa Melayu yang betul dan baik dan hanya mengunakan bahasa asing jika ada keperluan tertentu.\nBersempena dengan sambutan HAWANA 2022, beliau menyatakan bahawa wartawan perlu meletakkan diri mereka sebagai wakil barisan hadapan yang boleh dibanggakan masyarakat, duta bahasa Melayu dan memantapkan penguasaan bahasa Melayu dari semasa ke semasa." "Menelusuri Kesohoran UMT 20 Tahun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Nerus, Terengganu \u2013 \u00a0Pada usia yang menjangkau 20 tahun, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah melebarkan sayapnya sejajar dengan ilmu kelautan dan sains marin yang menjadi bidang tujahan institusi terbabit.\nBermula dengan Kolej Universiti Terengganu (KUT), kemudian ditukarkan kepada Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM) dan pada akhirnya dikenali sebagai UMT, universiti awam ini diiktiraf sebagai pusat kecemerlangan serantau yang berfokuskan marin terunggul dalam negara serta disegani di peringkat global. Maka itu, bersempena dengan sambutan ulang tahun penubuhan UMT yang ke-20 yang disambut pada hari ini dengan bertemakan Menelusuri Kesohoran UMT 20 Tahun, pelbagai program menarik telah dirancang secara dalam talian untuk menyemarakkan sambutan tersebut.\nSambutan ulang tahun UMT ke-20 tahun yang akan diadakan selama sebulan merupakan anjuran Persatuan Pentadbir dan Ikhtisas UMT (PERENTAS) dengan kerjasama Pejabat Pendaftar dan Pejabat Komunikasi Korporat (PKK) UMT.\nProfesor Dr. Mazlan Abd. Ghaffar yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMT menjelaskan dalam siaran medianya, forum Minda Naib Canselor menjadi antara program yang mengisi sambutan ulang tahun UMT pada tahun ini. Program tersebut menghimpunkan ahli panel kumpulan profesional akademik tertinggi yang terlibat secara langsung dengan penubuhan UMT, iaitu bermula daripada \u00a0penubuhan KUSTEM hinggalah Naib Canselor keempat UMT.\n\u201cDiskusi menarik ini akan mengupas mengenai falsafah, misi dan visi serta perkongsian pengalaman mereka bersama-sama staf, pelajar dan alumni UMT yang dikasihi dalam usaha memperkasakan UMT dalam mengecap kejayaan yang dicapai pada hari ini, khususnya dalam bidang tujahan yang berteraskan ilmu kelautan dan \u00a0sumber akuatik sebagaimana yang terkandung dalam Pelan Strategik UMT 2018 \u2013 2022\u201d, jelas Mazlan.\nSementara itu, penganjur program yang juga merupakan Presiden PERENTAS, Wan Mohd Wazir Wan Abdul Wahab berkata, majlis sambutan secara dalam talian pada kali ini turut dijayakan dengan kerjasama Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) dan Pusat Ekosistem Digital (PED).\n\u201cSelain bacaan Yasin, tahlil dan selawat, majlis turut dimulakan dengan ucapan alu-aluan perasmian yang disempurnakan oleh Naib Canselor UMT dan diikuti dengan ucapan pembukaan oleh Pendaftar UMT, Zukiferee Ibrahim. Seterusnya, majlis akan dimeriahkan dengan Forum Minda Pendaftar yang menghimpunkan barisan panel mantan Pendaftar UMT khusus untuk membincangkan pelbagai topik termasuklah pembangunan hala tuju dan sumber manusia dalam mendukung hasrat kerajaan menuju sistem pendidikan yang lebih cemerlang pada masa hadapan,\u201d jelas Wan Mohd Wazir.\nIstimewanya, majlis secara dalam talian ini turut dihadiri oleh \u00a0tokoh akademik termasuklah Profesor Emeritus \u00a0Dato\u2019 Dr. Mohamad Mahyuddin Mohd Dahan, \u00a0\u00a0Profesor Emeritus\u00a0 Dato\u2019 Dr. Sulaiman Md Yassin, Profesor Dato\u2019 Dr. Nor Aieni Mokhtar dan barisan panel yang terlibat dalam menjayakan program tersebut." "Semakan Tawaran ke Tingkatan Enam 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Semakan keputusan tawaran kemasukan pelajar ke tingkatan enam bagi tahun 2021 boleh dilakukan bermula pada 5 hingga 15 Julai 2021. Perkara ini diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan media pada hari ini.\nSemakan keputusan tawaran dan pendaftaran kemasukan ke tingkatan enam tahun 2021 boleh dilakukan melalui kaedah berikut:\nDalam kenyataan itu juga, KPM memaklumkan bahawa lepasan SPM 2020 yang memenuhi syarat kemasukan ke tingkatan enam tetapi tidak menerima tawaran boleh membuat permohonan rayuan secara dalam talian melalui pautan https://sst6.moe.gov.my/ mulai 5 hingga 15 Julai 2021. Keputusan permohonan rayuan tersebut akan dimaklumkan pada 20 Julai 2021 melalui portal yang sama. Bagi lepasan SPM 2020 yang tidak mempunyai capaian Internet, pihak sekolah akan membantu menguruskan rayuan.\nSesi pengajian tingkatan enam akan bermula pada 25 Julai 2021 bagi sekolah dalam negeri Kumpulan A dan pada 26 Julai 2021 bagi sekolah dalam negeri Kumpulan B." "Nor Zamani KPPM Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pada hari ini mengumumkan pelantikan Datin Sri Nor Zamani Abdol Hamid sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) yang baharu berkuat kuasa pada 22 Jun 2021.\nNor Zamani, berusia 59 tahun merupakan KPPM yang ke-18 dan merupakan wanita ketiga yang dilantik sebagai KPPM. Beliau telah memulakan perkhidmatan dalam dunia pendidikan pada tahun 1986 sebagai Ketua Jabatan A-Level di Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan. Dalam tempoh 35 tahun perkhidmatannya, beliau juga telah berkhidmat di pelbagai organisasi dalam KPM. Antara jawatan yang pernah disandang oleh beliau ialah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum dan Pengarah Bahagian Pendidikan Swasta. Nor Zamani berkelulusan ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sosiologi dan Antropologi dan Ijazah Sarjana Pendidikan dari Universiti Malaya.\nKPM meletakkan sepenuh keyakinan terhadap Nor Zamani untuk menggalas tanggungjawab sebagai peneraju perkhidmatan pendidikan dan seterusnya meningkatkan lagi prestasi KPM dalam mencapai aspirasi pendidikan negara." "WI ACeIO Pelantar Baharu Perkongsian Maklumat Pengurusan Integriti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nPutrajaya \u2013 Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) Malaysia hari ini melancarkan satu lagi pelantar baharu Wacana Integriti ACeIO (WI AceIO) untuk perkongsian maklumat tentang pengurusan integriti. WI ACeIO yang juga disebut sebagai We AceIO merupakan pelantar dalam talian yang disediakan oleh ACeIO untuk dimanfaatkan oleh ahli-ahli bagi perkongsian amalan terbaik pengurusan integriti.\nPresiden ACeIO, Ahmad Sabri Mohamed ketika melancarkan WI ACeIO hari ini turut memaklumkan bahawa pelantar perkongsian maklumat integriti ini akan menampilkan ahli ACeIO secara bergilir sebagai panel tetap, manakala panel undangan adalah dalam kalangan tokoh dan pengamal integriti. Selain ahli, penyertaan WI ACeIO ini juga dibuka kepada bukan ahli termasuklah mahasiswa universiti.\nProfesor Madya Dr. Azila Ahmad Sarkawi, Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Kepimpinan, Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) mengalu-alukan kesediaan ACeIO untuk berkongsi pelantar WI ACeIO ini kepada pihak luar. Beliau yang juga merupakan pensyarah dalam bidang pengajian nilai, etika dan pembangunan persekitaran di sebuah institusi pengajian tinggi bersedia untuk berkongsi maklumat yang diperoleh kepada pelajar sarjana dan ijazah doktor falsafah di bawah seliaannya.\nMenurut Profesor Madya Dr. Azila, beliau mengalu-alukan CeIO untuk bersama-sama AKEPT dalam membangunkan modul pengurusan integriti dan Pelan Antirasuah Organisasi AKEPT. Pihaknya juga bersedia untuk membantu ACeIO dalam membangunkan modul kompetensi untuk ahli sekiranya diperlukan.\n\nSiti Baizura Tasmidi, seorang mahasiswa dari Kuching, Sarawak kelihatan teruja dengan pelantar baharu WI ACeIO itu. Beliau yang juga merupakan guru KAFA turut berterima kasih kepada ACeIO kerana memberikannya peluang untuk bersama-sama mengikuti sesi wacana pada hari ini.\nMenerusi pelantar baharu tersebut, Siti Baizura menyatakan bahawa beliau akan memanfaatkan maklumat yang diperoleh untuk pembentukan nilai dan integriti dalam kalangan anak-anak bangsa generasi masa depan di bawah bimbingannya. Beliau juga berharap agar pelantar tersebut terus dapat diperluas bagi membawa gelombang baharu pembudayaan integriti dalam kalangan masyarakat.\nWI ACeIO pada hari ini menampilkan dua orang tokoh dalam kalangan ahli ACeIO, iaitu Profesor Madya Dr. Romlah Jaffar dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Dr. Haji Mohd Azlan Yahya, Naib Presiden ANGKASA. Moderator yang mengendalikan wacana bertajuk \u201cPengurusan Integriti Secara Lebih Profesional\u201d pada hari ini ialah Tuan Mohd Juhari Ab Kadir, Pengerusi Perhubungan ACeIO Negeri Terengganu." "KPM Prihatin terhadap Kesukaran Penyedia Perkhidmatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) prihatin dengan kesukaran yang dihadapi oleh penyedia perkhidmatan, khususnya kontraktor perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) dan perkhidmatan Bekalan Makanan Bermasak (BMB) di institusi yang berada di bawah KPM, yang terjejas berikutan penutupan institusi tersebut kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).\nPerkara ini dinyatakan menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh KPM pada hari ini (4 Julai 2021).\nMenerusi kenyataan media tersebut, KPM menyatakan bahawa pembayaran kepada kontraktor bagi perkhidmatan KBK akan dibuat sepenuhnya sebagaimana yang dinyatakan dalam kontrak. Oleh itu, seharusnya tidak timbul isu kontraktor perlu memotong gaji pekerja KBK.\nBagi perkhidmatan BMB pula, KPM akan melanjutkan kontrak perkhidmatan kepada kontraktor yang terlibat dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan yang terjejas ekoran pelaksanaan PKP.\nSelain itu, kesukaran pengusaha kantin serta penyewa premis atau ruang seperti kedai buku, koperasi, kedai dobi dan mesin layan diri (vending machine) yang terjejas akibat penutupan sekolah di bawah KPM ini juga turut mendapat perhatian agensi ini.\nDalam hal ini, KPM membuat ketetapan untuk memberikan pengecualian sewaan kantin dan premis atau ruang tersebut bagi tempoh enam bulan mulai Julai hingga Disember 2021.\nTambah KPM lagi, penyambungan kontrak sewaan kantin dan premis atau ruang di sekolah yang berada di bawah KPM akan diberikan secara automatik untuk tempoh satu tahun apabila tamat tempoh kontrak asal.\nKPM yakin inisiatif ini akan dapat membantu meringankan beban kewangan penyedia perkhidmatan di institusi yang berada di bawah KPM serta pekerja yang terkesan akibat pandemik COVID-19.\nKPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik!" "Sesi PdP bagi Murid Kelas Peperiksaan di Negeri yang Beralih ke Fasa 2 PPN\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merujuk pengumuman YB Menteri Kanan Pertahanan pada 3 Julai 2021 berkaitan dengan peralihan ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang yang berkuat kuasa mulai 5 Julai 2021.\nBerdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi Fasa 2 PPN, sekolah dibenarkan beroperasi untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka, tetapi terhad kepada murid kelas peperiksaan sahaja. MKN juga memberikan kebenaran pergerakan rentas negeri dan daerah kepada guru dan murid kelas peperiksaan yang terlibat sekiranya sekolah dibuka.\nWalau bagaimanapun, KPM ingin memaklumkan bahawa Takwim Persekolahan KPM tahun 2021 adalah kekal seperti yang telah diumumkan oleh YB Menteri Kanan Pendidikan dalam sidang media pada 6 Jun 2021. Hal ini bermakna, sesi PdP bagi murid kelas peperiksaan di Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang akan terus dilaksanakan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sehingga cuti pertengahan penggal yang akan \u00a0bermula \u00a0pada \u00a016 \u00a0Julai \u00a02021 \u00a0bagi \u00a0negeri \u00a0Kumpulan \u00a0A \u00a0dan 17 Julai 2021 bagi negeri Kumpulan B.\nPemakluman lanjut mengenai pengoperasian sekolah bagi sesi persekolahan penggal berikutnya yang dijadualkan pada 25 Julai 2021 bagi negeri Kumpulan A dan 26 Julai 2021 bagi negeri Kumpulan B akan dibuat oleh KPM sekurang-kurangnya seminggu sebelum penggal persekolahan tersebut bermula.\nKPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik!" "Mesyuarat Khas Parlimen Bermula 26 Julai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kerajaan telah bersetuju untuk menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 diadakan selama lima hari, bermula pada 26 hingga 29 Julai 2021 bagi Dewan Rakyat. Sementara itu, Dewan Negara akan bermesyuarat selama tiga hari, iaitu pada 3 hingga 5 Ogos 2021. Hal ini dimaklumkan oleh Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan media pada hari ini.\nMenurut kenyataan itu, \u201cmesyuarat ini bertujuan untuk memberikan penerangan kepada Ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.\u201c\n\nPejabat Perdana Menteri dalam kenyataan tersebut juga menyebut, \u201cberdasarkan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong akan dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen (shall be laid before both Houses of Parliament).\u201c\nMesyuarat ini akan diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.\nPejabat Perdana Menteri turut memberitahu, Nota Jemaah Menteri telah diedarkan secara berutus kepada Jemaah Menteri untuk mengambil maklum mengenai perkara ini." "Pengambilan Khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 Secara Sekali Beri Tahun 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku Pihak Berkuasa Melantik (PBM) telah mengumumkan Pengambilan Khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 secara sekali beri (one-off) bagi tahun 2021. SPP memaklumkan bahawa pengambilan khas ini adalah sepertimana yang telah diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin pada 20 Jun 2021 yang lalu. Hebahan pengambilan ini akan dikeluarkan pada 7 Julai 2021, iaitu selewat-lewatnya pada pukul 5.30 petang.\nSPP menyatakan bahawa pengambilan khas ini akan mengutamakan graduan pendidikan sama ada lepasan universiti awam, swasta ataupun luar negara. Di samping itu, pengambilan khas ini juga akan diperluas kepada graduan bukan iktisas pendidikan melalui kepelbagaian kaedah pelantikan pada fasa berikutnya jika masih terdapat kekosongan yang tidak dapat ditampung oleh graduan pendidikan.\nSehubungan dengan itu, SPP menyarankan calon-calon yang terlibat agar bersiap sedia dan sentiasa melayari laman sesawang dan platform media sosial rasmi SPP bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan dengan urusan temu duga pengambilan khas ini." "Ismail Sabri Dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Pejabat Perdana Menteri melalui kenyataan media pada hari ini mengumumkan pelantikan Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.\nMenurut kenyataan tersebut, pelantikan ini akan dapat membantu Perdana Menteri mengurus pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara yang sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini.\nDalam pada itu, Dato\u2019 Seri Hishammuddin Tun Hussein pula dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri. Beliau akan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai oleh Ismail Sabri.\nPejabat Perdana Menteri turut memaklumkan kedua-dua pelantikan ini telah disembah maklum kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan berkuatkuasa serta-merta." "Prerogatif YDPA Mengukuhkan Amalan Tadbir Urus yang Baik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKenyataan Pejabat Perdana Menteri pada 5 Julai 2021 akhirnya menamatkan teka-teki berhubung dengan tarikh persidangan parlimen. Hal ini\u00a0 susulan daripada Kenyataan Bersama Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga Kenyataan Media Istana Negara pada 29 Jun 2021.\nKenyataan Pejabat Perdana Menteri itu perlu disambut baik kerana menunjukkan kesediaan Perdana Menteri dan jemaah menteri menghormati prerogatif Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk mengakas nasihat di bawah Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan. Sebelum itu dikhabarkan jemaah menteri menasihati tarikh sidang parlimen pada September atau Oktober 2021.\nMeskipun tarikh 26 Julai 2021 hingga 3 Ogos 2021 ditetapkan sebagai Mesyuarat Khas, namun tatacaranya masih berlandaskan Peraturan Mesyuarat Majlis Parlimen. Dari sisi lain, notis mesyuarat sekurang-kurangnya 28 hari boleh dikecualikan kerana panggilan Mesyuarat Khas itu boleh dibuat oleh YDPA di bawah seksyen 14(2)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, iaitu pada tarikh yang sesuai mengikut nasihat Perdana Menteri.\nSidang Parlimen melalui Mesyuarat Khas tidak mensyaratkan Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas diprorog, oleh itu tidak akan melibatkan Titah Pembukaan Majlis Parlimen oleh YDPA di bawah Perkara 60 Perlembagaan Persekutuan. Mengikut amalan,\u00a0 bagi tahun 2021 sepatutnya Penggal Keempat Parlimen ke-14 sudah dipanggil bersidang. Tidak seperti proklamasi darurat sebelum ini, darurat yang diisytiharkan pada 14 Januari 2021 dibuat secara bertempoh hingga 1 Ogos 2021. Hal itu memberi justifikasi mengapa YDPA menitahkan proklamasi, ordinan dan Pelan Pemulihan Negara dibentangkan mengikut kehendak Perkara 150(3) sebelum berakhirnya tempoh darurat.\nTidak dinafikan bahawa kuasa YDPA untuk membuat proklamasi darurat dan menggubal ordinan tanpa membentangkan terlebih dahulu di Parlimen menurut\u00a0 Fasal (2B) adalah berperlembagaan dan sah. Kedudukan itu terpelihara di bawah Fasal (2C) yang memberi kesan perundangan suatu ordinan Baginda seperti sebuah Akta Parlimen.\u00a0Namun begitu, masih boleh\u00a0 ditimbulkan persoalan sama ada ordinan sedemikian perlu memenuhi syarat di bawah Fasal (3) dalam Perkara yang sama sebelum 1 Ogos 2021 kerana darurat pada kali ini diisytiharkan bertempoh, lantaran tempohnya boleh berakhir tanpa memerlukan resolusi Parlimen.\nSelain itu, pembentangan ordinan dalam tempoh sebelum 1 Ogos 2021 juga membolehkan Parlimen melaksanakan fungsi di bawah Perkara 150(6), iaitu untuk menimbangkan tadbir urus suatu undang-undang itu sama ada memenuhi\u00a0 maksud proklamasi darurat. Perkara 150(6) berbunyi, \u201cTertakluk pada Fasal (6A), tiada peruntukan mana-mana ordinan yang dimasyhurkan di bawah Perkara inj, dan tiada peruntukan mana-mana Akta Parlimen yang diluluskan semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa dan yang mengisytiharkan bahawa didapati oleh parlimen undang-undang itu dikehendaki oleh sebab darurat, boleh menjadi tidak sah atas alasan ketidakselarasan dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini\u201c.\nSekiranya ordinan yang diperbuat di bawah Fasal (2B) dibentangkan di Parlimen sebelum tamat tempohnya pada 1 Ogos 2021, pastinya tiada pihak boleh menimbulkan perlindungan yang diberi oleh Fasal (8). Perkara 150(8) melindungi suatu proklamasi dan ordinan darurat yang dibuat atas kepuasan hati YDPA daripada dicabar di Mahkamah.\u00a0Dalam hal ini,\u00a0titah YDPA itu tidak boleh diremehkan atas alasan Baginda perlu bertindak mengikut nasihat kerana suatu nasihat eksekutif tidak mutlak kerana hal itu juga tertakluk kepada pematuhan prinsip undang-undang. Apatah lagi dengan komitmen kerajaan pada hari ini yang melaungkan keperluan amalan berintegriti dan tadbir urus yang baik.\nIsu yang masih menjadi polemik hingga hari ini seperti sama ada Perdana Menteri masih mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat dan kedapatan dakwaan yang menyentuh integriti dalam pengurusan perolehan boleh dijawab dengan lebih telus sekiranya parlimen bersidang. Rakyat tidak boleh dibiarkan dengan persepsi buruk terhadap \u201cgovernment of the day\u201c\u00a0dalam keadaan negara sedang menghadapi ancaman penularan COVID-19\u00a0 dan status kesihatan ekonomi negara\u00a0pada tahap yang masih membimbangkan.\nJawapan mahupun respons yang diberikan oleh kerajaan terhadap isu semasa masih tidak memuaskan hati para pemimpin politik dan rakyat sehingga ditanggapi kestabilan politik negara tidak berada dalam keadaan\u00a0 yang baik. Oleh itu, melihat kepada pelbagai polemik dalam negara, maka tidak hairanlah YDPA menitikberatkan amalan tadbir urus yang baik dalam pentadbiran berteraskan doktrin pemisahan cabang kuasa mengikut kerangka Perlembagaan Persekutuan.\nPendekatan sedemikian amat bertepatan dengan kewajipan Baginda di bawah sumpah jawatan dalam Jadual IV. Secara keseluruhannya, inti pati Sumpah YDPA menetapkan kewajipan Baginda untuk memelihara agama Islam, menegakkan pemerintahan yang adil, keamanan di dalam persekutuan, kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan. Pendidikan yang berterusan kepada anggota pentadbiran di peringkat persekutuan\u00a0 tentang prerogatif YDPA\u00a0 berlandaskan sumpah jawatan seperti Jadual IV amat penting di samping kefahaman bahawa mereka merupakan\u00a0 pelaksana sebahagian besar fungsi kuasa eksekutif YDPA.\nDalam erti kata lain, punca fungsi kuasa pihak eksekutif\u00a0 di bawah Perkara 39, iaitu daripada YDPA menuntut rasa hormat mereka terhadap pandangan, nasihat dan titah Baginda apatah lagi anggota pentadbiran negara perlu melafazkan sumpah di bawah Jadual VI untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Begitu juga halnya dengan anggota pentadbiran di peringkat negeri yang perlu menghormati prerogatif Raja-Raja Melayu.\nDari aspek integriti dan\u00a0 tadbir urus yang baik, doktrin nasihat dan amalannya di sisi Perlembagaan Persekutuan perlu dilihat dalam konteks pemerintahan yang adil, kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan. Peguam Negara mempunyai peranan yang\u00a0 besar untuk menyampaikan pandangan undang-undang yang lebih bersifat konstruktif bagi maksud pemerkasaan tadbir urus yang baik dalam pentadbiran negara.\nIsu punca kuasa pelbagai pelan pemulihan,\u00a0tatacara kewangan dan keputusan eksekutif\u00a0 tidak boleh dipandang ringan walaupun dibuat dalam tempoh darurat.\u00a0Misalnya perbelanjaan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN); tiada perbelanjaan daripada kumpulan wang yang disatukan boleh dibuat melainkan mematuhi syarat di bawah Perkara 104.\u00a0 Andaian perbelanjaan boleh diratifikasikan kemudian melalui undang-undang perbekalan tidak lagi semudah itu boleh dibuat kerana sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat kepada Perdana Menteri pada hari ini belum dapat dipastikan. Perbelanjaan wang negara perlu dibuat secara berhemat dan mematuhi tatacara yang ditetapkan oleh undang-undang persekutuan.\nPrinsip pemisahan cabang kuasa yang meletakkan kuasa perundangan persekutuan kepada YDPA dan dua buah Majlis Parlimen seperti termaktub dalam Perkara 44 perlu dipelihara. Hal ini bermaksud pihak eksekutif tidak mempunyai kuasa untuk menggubal ordinan di bawah Perkara 150 sekali gus nasihat di bawah Perkara 40(1) tidak terpakai dalam kuasa penggubalan ordinan Seri Paduka.\nDalam hal penggubalan ordinan,\u00a0pentafsiran bahawa YDPA perlu mengikut\u00a0 nasihat pihak eksekutif atau jemaah menteri adalah bercanggah dengan prinsip pemisahan cabang kuasa kerana seperti yang dinyatakan bahawa penggubalan ordinan terletak dalam kuasa perundangan persekutuan. Namun begitu, hal itu tidak bermakna jemaah menteri tidak boleh mengemukakan permintaan dan cadangan kepada YDPA. Pada sisi ini, Peguam Negara perlu berperanan untuk menasihati YDPA agar Baginda dapat menjunjung sumpah jawatan di bawah Jadual IV dengan sempurna, iaitu keluhuran inti pati sumpah tersebut.\nJika sekiranya jemaah menteri tidak berpuas hati dengan ordinan yang dimasyhurkan oleh YDPA maka mereka boleh memanggil parlimen bersidang dan mengemukakan usul untuk membahaskan dan meminda ordinan tersebut termasuklah membatalkannya.\nTatacara di atas menunjukkan amalan tadbir urus yang baik dalam penggubalan serta semak dan imbang suatu ordinan. Jika sekiranya penggubalan ordinan ditafsirkan bahawa YDPA perlu mengikut nasihat jemaah menteri, pastinya boleh mengundang salah guna kuasa kerana hingga sekarang tatacara untuk panggilan sidang parlimen ditafsirkan YDPA perlu mengikut nasihat. Bayangkan jika untuk membuat proklamasi darurat ditafsirkan YDPA perlu mengikut nasihat jemaah menteri, begitu juga menggubal ordinan, memanggil sidang parlimen, hinggakan menentukan keutamaan usul untuk dibahaskan kesemuanya terletak pada kuasa mutlak Perdana Menteri atau jemaah menteri, tidakkah itu boleh mengundang musibah?\nTidak mustahil misalnya boleh berlaku pada suatu hari\u00a0nanti Perdana Menteri yang menghadapi tuduhan korupsi dan melakukan pelbagai kezaliman menggunakan tafsiran di atas untuk terus berkuasa dengan melumpuhkan parlimen dan mengadakan ordinan bagi melindungi dirinya daripada tindakan undang-undang.\u00a0 \u00a0Apakah tafsiran sedemikian mampu menjamin amalan tadbir urus yang baik untuk melindungi ketenteraman di dalam negara dan kesejahteraan rakyat?\u00a0Kebarangkalian di atas semakin mudah berlaku\u00a0 jika pihak berkepentingan boleh pula dibeli dengan gelaran dan wang. Lebih-lebih lagi keadaan yang digambarkan di atas juga tidak harmoni dengan prinsip kebertanggungjawaban jemaah menteri kepada parlimen menurut Perkara 43(3).\nRumusannya, sudah pasti tafsiran bahawa YDPA perlu mengikut nasihat Perdana Menteri atau jemaah menteri untuk membuat proklamasi\u00a0 dan menggubal ordinan darurat secara mutlak bukanlah satu amalan yang baik malah boleh mencemarkan kemuliaan YDPA.\u00a0 Pada akhirnya, prinsip keluhuran perlembagaan perlu diterjemahkan melalui amalan tadbir urus yang baik pada setiap masa dan di semua peringkat. Setiap tiga cabang kuasa yang berada dalam kerangka perlembagaan mempunyai fungsi masing-masing dan perlu menghormati prerogatif YDPA dan Raja-Raja Melayu. Prerogatif ini tidak boleh ditohmah sebagai mengembalikan kuasa monarki mutlak sebaliknya perlu dilihat sebagai kewajipan Baginda untuk memelihara kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan. Dalam konteks ini pemerintahan raja berperlembagaan perlu difahami.\n\u00a0\nDatuk Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain,\nPengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang (ITKAS)." "Kuetiaw, Ejaan Rasmi Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR:\u00a0Kuetiaw, koay teow atau kuetiau? Apabila disebut perkataan ini, akan terbayang di minda kepingan mi berwarna putih lembut yang diperbuat daripada tepung beras. Makanan popular ini enak dimakan dalam hidangan\u00a0gorengan ataupun berkuah. Pastinya rakyat Malaysia pandai menyebut perkataan itu tetapi tidak semua yang tahu untuk mengejanya dengan ejaan yang betul. Banyak dalam kalangan kita yang mengeja perkataan tersebut dengan ejaan lain tetapi mempunyai sebutan\u00a0yang sama seperti ejaan kuay tiaw, kueh teow\u00a0dan kueh tiaw.\n\nTerbaharu, bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai mengeja perkataan ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi kenyataan media di Facebook mengumumkan ejaan kuetiau yang betul dalam bahasa Melayu. Kenyataan media yang dibuat oleh DBP ini ternyata sangat dialu-alukan oleh beberapa pemilik kedai makanan. Kebanyakan peniaga kuetiau berasa gembira dengan kenyataan media tersebut bagi mengelakkan kekeliruan ejaan dalam kalangan pelanggan. Selain itu, ejaan yang betul dalam bahasa Melayu juga dapat dipaparkan pada papan tanda makanan sebagai langkah untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan pelancong asing. Pengumunan ejaan rasmi ini juga bertepatan dengan usaha DBP untuk \u201cmembetulkan yang biasa, dan membiasakan yang betul\u201c." "Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2020\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPUTRAJAYA \u2013 Penganjuran Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu merupakan antara komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam usaha mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, dan seterusnya menjadikan bahasa Melayu kekal sebagai wahana pembangunan ilmu, penyampaian maklumat dan komunikasi di Malaysia. Anugerah ini selaras dengan matlamat dalam Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Universiti Awam 2016 hingga 2020.\nBagi tahun 2020, ahli akademik dan pakar dalam bidang kejuruteraan kimia, yang juga pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan UKM-Petronas Tenaga Hidrogen Lestari, Institut Sel Fuel (Selfuel), Profesor Datuk Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Bahasa Melayu. Anugerah berprestij dalam bidang akademik ini diberikan kepada Profesor Datuk Ir. Dr. Wan Ramli atas kejayaan beliau menjuarai bidang tenaga berpancaran sifar seperti tenaga hidrogen, teknologi sel fuel dan teknologi pengeringan lestari, dan etnoteknologi Melayu di persada antarabangsa melalui penyelidikan dan pembangunan dengan menggunakan bahasa Melayu.\nMenurut kenyataan pihak KPT pada hari Khamis itu, faktor lain yang melayakkan Profesor Datuk Ir. Dr. Wan Ramli merangkul gelaran Tokoh Akademik Bahasa Melayu kerana beliau turut menerima anugerah lain yang berprestij bagi saintis Malaysia, iaitu Anugerah Merdeka (2016) untuk prestasi kesarjanaan yang amat cemerlang dalam penyelidikan dan pengembangan sel fuel dan tenaga hidrogen pada peringkat dunia. Pada tahun 2015 pula, beliau mendapat pengiktirafan daripada Thomson Reuters sebagai salah seorang antara World\u2019s Most Influential Scientific Minds.\nBuat julung-julung kalinya pada tahun 2020, tiga kategori baharu dalam agenda Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu diperkenalkan oleh KPT, iaitu Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu, Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal, dan Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan. Menurut KPT, tujuan mewujudkan tiga anugerah baharu tersebut, selain anugerah utama, iaitu Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu, adalah bagi menggalakkan keterlibatan ahli akademik dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.\nSementara itu, Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Sultan Idris Shah, Dr. Mazura Mansor pula diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal, manakala Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (Bahasa), Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Mohamad Asri Mat Husin muncul sebagai penerima Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan. Walau bagaimanapun, pihak KPT mengumumkan bahawa tiada pemenang bagi kategori Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu.\nPihak KPT mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima anugerah dan berharap agar penganugerahan yang signifikan untuk pemartabatan bahasa Melayu ini diteruskan pada tahun-tahun akan datang sebagai pemangkin kepada kelangsungan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu merupakan satu daripada usaha untuk mengiktiraf ahli akademik di universiti awam yang telah memperlihatkan kesungguhan dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu melalui penghasilan karya ilmiah yang berkualiti. Anugerah berprestij ini juga bagi mengiktiraf ahli akademik di universiti awam yang memperlihatkan pencapaian cemerlang dalam penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang mencakupi pelbagai bidang, meliputi sumbangan cemerlang ahli akademik dalam mengembangkan dan menggunakan bahasa Melayu sebagai wahana penyelidikan, penerbitan, pengajaran dan khidmat ikhtisas kepada masyarakat." "Perjuangan yang Tidak Dihayati\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nApabila ada mantan pemimpin kanan kerajaan dan parti utama kerajaan membidas usaha mengangkat martabat bahasa Melayu, jelas wujudnya krisis jati diri dalam kepemimpinan negara. Tan Sri Rafidah Aziz sebagai mantan pensyarah Universiti Malaya pasti orang yang berilmu dan berfikir. Sebagai mantan pemimpin kanan kerajaan dan parti UMNO sebagai tunjang kerajaan, beliau pasti faham akan asas perjuangan UMNO. Dalam Fasal 3 Asas dan Tujuan UMNO, disebut secara khusus perjuangan UMNO memartabatkan bahasa Melayu, iaitu \u201cMenjamin kedudukan bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan kebudayaan kebangsaan yang berteraskan kebudayaan Melayu\u201c.\nSetiap anggota parti itu dan sepatutnya semua parti di negara ini, apatah lagi pemimpin kanannya, pasti menyertai parti itu dengan penuh kesedaran tentang cita-cita dan matlamat partinya. Mustahil selama puluhan tahun berada dalam parti dan kerajaan beliau tidak mendukung cita-cita parti dan kerajaan. Adakah kerana telah tidak menjadi pemimpin beliau berasa berhak untuk berlepas tangan daripada tanggungjawab menghormati Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kedudukan dan peranan bahasa Melayu?\nSebenarnya Tan Sri Rafidah tidak bersendirian dalam isu ini. Tidak seriusnya sebahagian daripada pemimpin sejak merdeka dalam pelaksanaan dasar-dasar negara, termasuk dasar bahasa kebangsaan, menjadi salah satu punca bahasa Melayu ada kalanya terumbang-ambing meskipun kedudukannya jelas dalam Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Pendidikan.\nDalam bidang pentadbiran, Perkara 152(6) telah menetapkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam. Mengapakah baru 76 peratus badan kerajaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai rasmi sepenuhnya (seperti laporan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu pada 22 Mei hingga 24 Mei 2022 lalu)?\nDapatan Audit Bahasa Melayu yang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menunjukkan memang masih ada masalah dalam penggunaan bahasa Melayu. Oleh itu, jaminan Ketua Setiausaha Negara untuk memastikan martabat bahasa Melayu dipenuhi amat tepat dengan peranan beliau sebagai ketua pentadbiran. Malangnya beliau dibidas keras oleh Tan Sri Rafidah Aziz, seolah-olah janji untuk memastikan dasar negara dipenuhi satu kesalahan pula!\nDalam bidang pendidikan, telah tercapai kemantapan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pendidikan negara. Namun begitu, dengan pelaksanaan program pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003, ilham Dr. Mahathir Mohamad, hampir musnah usaha yang dibuat sejak kemerdekaan. Mujur Tan Sri Muhyiddin Yassin memansuhkannya ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan. Namun Program Dwibahasa (DLP), meskipun dikatakan bersifat pilihan menjadi ancaman kepada bahasa Melayu dengan wujudnya polarisasi dalam pendidikan berdasarkan dua bahasa pengantar yang berlainan bagi Sains dan Matematik.\nBegitu juga halnya di peringkat pengajian tinggi. Tahun 1983 telah ditetapkan oleh kerajaan sebagai permulaan bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama. Pada tahun 1970-an, tampak pesat usaha memenuhi sasaran itu dan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970, malah membuktikan 13 tahun lebih awal kejayaan cita-cita negara dicapai.\nMalangnya pada tahun 1995, keluar arahan pemimpin tertinggi negara ketika itu, Dr. Mahathir Mohamad agar kursus kritikal seperti sains dan teknologi, perubatan, kejuruteraan dan undang-undang dikuliahkan dalam bahasa Inggeris. Kesan mudarat arahan itu hingga kini belum dapat dipulihkan. Satu demi satu Pelan Pemartabatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu Tinggi di institut pengajian tinggi (IPT) dikeluarkan sejak tahun 2011 tetapi belum dapat memulihkan keadaan.\nApabila Perdana Menteri kesembilan, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob berusaha mengangkat martabat bahasa Melayu, sewajarnya semua pihak, terutama pemimpin (dan mantan pemimpin) menyokongnya. Jika tidak berupaya menyokong melalui tindakan, berpadalah dengan menyokongnya secara lisan, atau paling tidak diam. Tidak wajar sama sekali perbuatan mengeluarkan pernyataan negatif, yang tidak sesuai keluar daripada lisan mantan pemimpin kanan parti dan kerajaan. Kita berharap agar semua pemimpin memberikan sokongan padu kepada Perdana Menteri kerana beliau menggerakkan dasar negara yang berkaitan dengan dasar bahasa kebangsaan." "Kerjasama Strategik SPRM-ACeIO Menjayakan KIAR\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) telah menjalinkan kerjasama strategik dalam menjayakan Kursus Integriti dan Anti Rasuah (KIAR) di institusi pengajian tinggi (IPT). Hal ini dimaklumkan oleh Pengarah Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor pada hari ini.\nAntara kerjasama yang telah dipersetujui adalah dalam penyediaan latihan pelatih (TOT) kepada tenaga pengajar KIAR. Menurutnya, kerajaan telah bersetuju KIAR diperkenalkan di IPT pada September tahun ini sebagai kursus elektif sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2023.\nMenurut beliau lagi, SPRM memilih ACeIO sebagai rakan strategik kerana ACeIO telah berjaya membuktikan keupayaan sebagai peneraju dan penghubung utama agenda membudayakan integriti dalam masyarakat. Pengurusan yang berstruktur dan bersistematik juga turut memberikan keyakinan kepada SPRM untuk menjayakan agenda integriti dan antirasuah ini bersama-sama ACeIO.\nPresiden ACeIO, Ahmad Sabri Mohamed mengesahkan kerjasama tersebut serta mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada SPRM atas kepercayaan dan keyakinan kepada ACeIO untuk turut bersama-sama menjayakan KIAR. Beliau menjelaskan bahawa ahli-ahli ACeIO yang terdiri daripada pakar dan pengamal pengurusan integriti daripada pelbagai bidang dan sektor sentiasa bersedia membantu SPRM dan kerajaan dalam menjayakan KIAR, seterusnya agenda integriti dan antirasuah nasional.\nSabri berkata demikian sebaik-baik selesai melancarkan Town Hall ACeIO bersama-sama ahli secara dalam talian, pada hari ini. Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa ACeIO juga telah melantik dua orang ahlinya, iaitu Mohd Juhari Abd Kadir dan Abdul Razak Misban sebagai Pegawai Penyelaras untuk universiti awam dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi memastikan kelancaran kerjasama KIAR nanti. Beliau mengharapkan kerjasama SPRM-ACeIO dalam menjayakan agenda integriti dan antirasuah negara ini terus diperkukuh demi generasi serta masa depan yang bakal diwarisi.\nSementara itu, Juhari memaklumkan bahawa pihaknya bersedia untuk membantu menjayakan KIAR. Pihaknya juga telah mengenal pasti ahli-ahli yang kompeten jika diperlukan sebagai tenaga pengajar KIAR.\nAbdul Razak pula ketika mengulas perkara ini berkeyakinan tinggi dengan keahlian yang ada. Menurut beliau, ACeIO boleh memberikan sumbangan bagi menjayakan KIAR sama ada dalam pembangunan modul mahupun sebagai tenaga pengajar." "Sokongan Masyarakat dalam Pemulihan Integriti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKajang, Selangor \u2013 Semua lapisan masyarakat perlu cakna tentang agenda pembudayaan integriti dan antirasuah nasional. Menurut Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Dato\u2019 Nordin Muhamad, proses pembudayaan integriti perlu bermula dengan langkah pencegahan, iaitu menutup ruang dan peluang perlanggaran peraturan dan undang-undang, disusuli dengan penguatkuasaan serta dilengkapi dengan proses pemulihan.\nMenurut beliau, proses pemulihan integriti juga memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pihak. Sehubungan dengan itu, beliau menyeru setiap lapisan masyarakat agar sentiasa memberikan sokongan kepada proses pemulihan integriti supaya mereka yang pernah tersilap langkah tidak mengulanginya kembali dan menjadi duri dalam daging kepada usaha pembudayaan integriti.\nPengerusi Perhubungan ACeIO Negeri Terengganu, Mohd Juhari Ab. Kadir menyokong penuh apa-apa yang dikatakan oleh Dato\u2019 Nordin. Menurut beliau, semangat dan proses pembudayaan integriti turut tersurat dan tersirat dalam Rukun Negara. Kewujudan segelintir masyarakat yang tidak peduli dan menghayati semangat yang cuba diterapkan menerusi Rukun Negara menyebabkan ada yang tersilap langkah dan terlibat dengan perlanggaran peraturan dan undang-undang serta amalan yang tidak berintegriti.\nMenurutnya lagi, sekiranya kita semua berpegang teguh pada Rukun Negara, pastinya kita dapat menjayakan agenda murni pembudayaan integriti ini. Seterusnya hasrat murni kerajaan untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang berintegriti serta bermoral tinggi akan berjaya direalisasikan. Juhari turut mengajak semua sahabat CeIO untuk turut cakna terhadap apa-apa yang berlaku dan terus bersama-sama ACeIO menjuarai usaha pembudayaan integriti.\nFirdaus Ramlan, individu yang pernah tersungkur kerana langkah sumbang akibat gagal mempertahankan integriti apabila diuji turut berkongsi pandangan berhubung dengan perkara ini. Beliau memohon supaya insan yang senasib dengannya diberi peluang sewajarnya untuk memulihkan integriti. Beliau juga berharap agar diberi peluang dan sokongan oleh masyarakat khususnya untuk bersama-sama dalam agenda pembudayaan integriti dan antirasuah nasional. Beliau berterima kasih kepada keluarga dan pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Jabatan Penjara Malaysia yang banyak membantu beliau untuk bangkit kembali. Beliau juga turut berterima kasih kepada ACeIO yang turut memberikan peluang kepada beliau untuk bersama-sama menjayakan agenda murni ini." "Yuran Pelajar di Universiti Awam Dikurangkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui kenyataan media pada hari ini memaklumkan, Universiti Awam (UA) telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi mengurangkan bebanan pelajar terutamanya yang terjejas dan menghadapi masalah kewangan sepanjang tempoh penularan pandemik COVID-19 di negara ini.\nMenurut KPT, antara inisiatif tersebut adalah melalui pengurangan Yuran Perkhidmatan, Yuran Asrama, Yuran Konvokesyen dan Yuran Aktiviti Kolej, iaitu antara purata 10 peratus hingga 35 peratus, bermula Semester Kedua Sesi Akademik 2019/2020 hingga hari ini.\n\u201cPengurangan yuran bagi Semester Kedua Sesi Akademik 2019/2020 untuk semua pelajar warganegara Malaysia melibatkan peruntukan sebanyak RM75 juta. Daripada jumlah itu, RM20 juta merupakan peruntukan tambahan Kerajaan dan RM55 juta menggunakan sumber dalaman UA,\u201c tambah KPT.\nDalam kenyataan itu juga, KPT memaklumkan, \u201cbagi Semester Pertama Sesi Akademik 2020/2021, pengurangan yuran sebanyak RM70.2 juta diberikan oleh UA, manakala bagi Sesi Kedua Sesi Akademik 2020/2021 pula pengurangan sebanyak RM40.5 juta telah diberikan.\u201c\nInisiatif ini melibatkan implikasi kewangan berjumlah kira-kira RM185.70 juta yang akan memanfaatkan sebanyak 386 142 orang pelajar bagi ketiga-tiga semester." "PdPR Diteruskan hingga 31 Ogos\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada hari ini memaklumkan bahawa sesi persekolahan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan diteruskan hingga 31 Ogos 2021.\nMenurut KPM, keputusan ini dibuat dengan mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta perbincangan bersama-sama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).\nDalam satu kenyataan media yang dibuat oleh KPM pada 17 Julai 2021 memaklumkan bahawa kementerian ini sentiasa bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan di sekolah dapat terus ditingkatkan.\nTambah KPM lagi, hingga 16 Julai 2021, sebanyak 253 366 orang guru dan pentadbir (61.30 peratus) serta 10 876 orang kakitangan sokongan (46.33 peratus) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.\nOleh itu, mengambil kira kadar vaksinasi ini, KPM membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka bermula pada 1 September 2021.\n\u201cKPM akan terus mengambil kira penilaian risiko oleh KKM dan MKN bagi melihat sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh tersebut. Sebarang perubahan akan dimaklumkan lebih awal,\u201c ujar KPM.\nDalam kenyataan media itu juga, KPM memaklumkan bahawa ketetapan ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.\nKPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik!" "COVID-19 Memperkukuh Solidariti Sosial\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\nHampir dua tahun pandemik COVID-19 melanda dunia, hingga kini belum kelihatan sebarang tanda-tanda pandemik ini akan berundur.\u00a0 Di peringkat global, iaitu pada 13 Julai lalu, lebih daripada 188 juta kes COVID-19 dicatatkan, manakala kematian melebihi empat juta orang.\u00a0 Sementara itu, Malaysia merekodkan sebanyak 855 949 kes dengan \u00a06385 kematian. Kes tertinggi dicatatkan pada 17 Julai 2021, iaitu sebanyak 12 528 kes.\u00a0 Meskipun ekonomi global dijangkakan pulih pada tahun ini, namun krisis kesihatan awam belum reda. Maka itu, pemberian vaksin yang dibuat secara besar-besaran bermula pada tahun ini dijangkakan dan diharapkan akan mampu mengurangkan kerebakan akibat pandemik pada peringkat global.\nSejak tahun lalu, apabila kebanyakan negara di dunia melaksanakan langkah pembendungan awal menangani COVID-19, perkataan \u201cpenjarakan fizikal\u201d menjadi terkenal.\u00a0 Di negara kita, di mana-mana sahaja, khususnya di tempat awam, kelihatan peringatan supaya orang ramai mengamalkannya.\u00a0 Tidak ketinggalan pengumuman peringatan tentang pentingnya amalan penjarakan fizikal dibuat di mana-mana sahaja, antaranya di stesen Mass Rapid Transit (MRT), premis perniagaan, stesen TV dan radio.\u00a0 Tidak\u00a0 diragui bahawa penjarakan fizikal merupakan cara yang terbaik untuk memperlahankan kerebakan COVID-19. Akan tetapi, keberkesanannya juga bergantung pada langkah yang lebih dalam dan keras, iaitu solidariti sosial.\nBagi ahli sosiologi, Eric Klinenberg, penjarakan fizikal tidak memadai tanpa solidariti sosial. Beliau menegaskan bahawa, \u201cSolidariti memotivasikan kita untuk menggalakkan kesihatan awam dan bukan sekadar untuk keselamatan peribadi kita sendiri. Solidariti memastikan kita tidak menyorok ubat, bekerjasama atau bertolak ansur di tempat kerja\u00a0 atau tidak menghantar anak yang sakit ke sekolah. Solidariti memaksa kita membenarkan kapal dengan penumpang yang terkandas berlabuh dengan selamat di pelabuhan atau untuk mengetuk pintu rumah jiran yang tua\u201d.\nKlinenberg turut memberitahu bahawa apa-apa yang berlaku apabila negara terbenam dalam mitologi individualisme berlaga dengan pandemik yang menuntut solidariti sosial dan pengorbanan kolektif. Solidariti dapat mencegah epidemik kesunyian dan pengasingan sosial daripada membebankan orang yang paling rentan dalam masyarakat.\nKetika pandemik COVID-19 melanda, tahap\u00a0 solidariti merupakan asas ketahanan dalam mana-mana masyarakat.\u00a0 Pandemik ini merupakan satu daripada cabaran yang tidak pernah berlaku sebelumnya sehingga memaksa dunia mengharunginya. Oleh itu, \u00a0solidariti sosial memainkan peranan yang penting dalam menjambatani jarak sosial dan mengurangkan risiko kesihatan awam dengan membina kesedaran kolektif ketika masyarakat dilanda pandemik COVID-19.\nDi negara kita,\u00a0 solidariti sosial terbentuk apabila pandemik COVID-19 melanda dan memaksa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dikuatkuasakan mulai 18 Mac 2020. Solidariti sosial menyaksikan sukarelawan turut membantu petugas barisan hadapan dan orang ramai menghantar makanan untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan di hospital dan di kebanyakan sekatan jalan raya. Melalui media sosial, orang ramai\u00a0 digalakkan supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dan berkongsi maklumat yang sahih untuk bersama-sama membendung kerebakan sehingga munculnya slogan kita jaga kita. \u00a0\u00a0Apabila vaksin diperkenalkan di negara ini, wujud pula usaha sebilangan individu yang tidak bertanggungjawab cuba menyebarkan maklumat palsu kepada rakyat agar mereka menolak suntikan vaksin dengan alasan yang tidak munasabah.\u00a0 Namun begitu, perbuatan jahat tersebut disanggah oleh pelbagai usaha bersama-sama yang dibuat oleh kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang menyokong agar Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dijayakan dengan matlamat akhir agar negara dapat keluar daripada cengkaman COVID-19.\nTatkala pandemik COVID-19 terus melanda negara, sesetengah orang mula hidup dalam kesusahan\u00a0 kerana hilang pekerjaan atau mata pencarian. Maka itu, \u00a0wujud kempen mengibarkan bendera putih yang digiatkan oleh individu dan NGO yang tertentu. \u00a0\u00a0Meskipun ada ahli politik dan agamawan yang cuba menyekat kempen ini dengan memberikan beberapa alasan, namun rakyat Malaysia menunjukkan solidariti dengan segera membantu mereka yang memerlukan, bahkan ada peguam yang memaklumkan kepada saya bahawa sekiranya mereka yang mengibarkan bendera putih ditahan dan didakwa oleh pihak berkuasa, mereka sedia membantu individu berkenaan." "Mengapa Memilih Jenis Vaksin?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cTing!\u201c Satu pemberitahuan daripada aplikasi MySejahtera diterima:\n\nApabila ikon tersebut ditekan, tertera maklumat tempat dan tarikh vaksinasi yang telah dijadualkan. \u201cAlaa . saya tidak mahulah ambil vaksin di situ. Vaksin yang akan diberikan bukanlah jenis vaksin yang saya mahukan,\u201d demikian antara respons segelintir rakyat Malaysia apabila menerima pemberitahuan janji temu vaksinasi menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).\nBaru-baru ini, hangat diperkatakan di media sosial mengenai isu pemilihan vaksin dalam kalangan masyarakat. Ada yang hanya mahu mendapatkan sesetengah jenis vaksin sahaja, katanya vaksin tersebut mempunyai tahap keberkesanan yang lebih tinggi. Ada pula yang tidak mahu menerima vaksin yang telah ditetapkan, bahkan memilih untuk mendapatkan jenis vaksin yang dikatakan lebih sesuai untuk orang Asia. Malah, ada yang berasa takut untuk mendapatkan vaksin yang dikatakan mempunyai risiko darah beku atau gumpalan darah, lantas membatalkan janji temu vaksinasi yang telah dijadualkan.\nMenerusi laporan daripada akhbar dalam talian pada minggu lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan segelintir penerima vaksin COVID-19 yang sewenang-wenangnya membuat penjadualan semula vaksinasi mereka lantaran vaksin yang diberikan bukan daripada jenis yang mereka mahukan. Malah, dipercayai ada penerima yang sanggup menjadualkan semula sebanyak lebih daripada empat kali tawaran vaksinasi semata-mata kerana mahu menunggu vaksin yang diidamkan. Mengapakah hal seperti ini berlaku? Benarkah apa-apa yang dikatakan oleh segelintir masyarakat bahawa ada vaksin yang selamat dan ada yang tidak selamat untuk digunakan, malahan ada juga jenis vaksin yang terbaik?\nSecara umumnya, vaksin merupakan satu daripada kaedah untuk mengawal penularan pandemik COVID-19 dan antara cara yang terbaik untuk melindungi masyarakat daripada penyakit ini. Vaksin COVID-19 berperanan merangsang sistem imun supaya apabila manusia terdedah kepada koronavirus SARS-CoV-2, tubuh badan boleh bertindak balas terhadap jangkitan COVID-19. Dalam proses penghasilan vaksin COVID-19, pelbagai platform seperti jujukan genetik mRNA, vektor virus, virus nyahaktif dan subunit protein telah digunakan untuk menyediakan vaksin koronavirus yang selamat dan berkesan.\nDi Malaysia, terdapat beberapa jenis vaksin yang diletakkan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, iaitu Pfizer-BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca, Sputnik V dan CanSino Biologics. Pada 16 Julai lalu pula, KKM memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat kepada dua lagi vaksin COVID-19, iaitu Sinopharm dan Johnson and Johnson (Janssen) untuk kegunaan semasa bencana.\nNamun begitu, timbul juga persoalan dalam kalangan masyarakat, mengapakah kerajaan membawa masuk pelbagai jenis vaksin ke Malaysia dan tidak menggunakan satu jenis vaksin sahaja? Antara sebab hal ini terjadi adalah kerana kekangan bekalan vaksin. Pada hakikatnya, terdapat banyak negara yang menunggu giliran untuk mendapatkan bekalan vaksin. Jika kita hanya menunggu satu jenis vaksin sahaja, hal yang demikian pastinya akan melambatkan proses vaksinasi untuk seluruh rakyat Malaysia.\nPerdebatan dan pertelingkahan dalam kalangan masyarakat mengenai pemilihan jenis vaksin mendapat perhatian banyak pihak. Bagi meleraikan salah faham masyarakat mengenai pemilihan vaksin ini, seorang pegawai perubatan, Dr. Ikram Rauhi menjelaskan, \u201cselain keberkesanan, sebenarnya kita perlu memahami beberapa elemen lain yang membezakan antara semua jenis vaksin, iaitu dari sudut harga, pengagihan, penyimpanan, kesan sampingan, kekerapan dos, serta bahan aktif yang terkandung dalam sesuatu vaksin.\u201d\nMenerusi perkongsian video di YouTube, Dr. Ikram Rauhi berkata, \u201csesetengah daripada kita hanya melihat kepada keberkesanan sesuatu vaksin. Sebagai contoh, vaksin Pfizer-BioNTech dikatakan mempunyai keberkesanan sehingga 95 peratus, manakala vaksin Sinovac berkesan antara 50.4 peratus hingga 91.25 peratus. Akan tetapi, keberkesanan sesuatu vaksin sebenarnya bergantung pada keturunan dan faktor genetik masyarakat di negara tersebut.\u201d\nTambahnya lagi, \u201ckita juga perlu faham, menurut standard Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), sesuatu vaksin dikatakan berhasil apabila mencapai tahap keberkesanan minimum sebanyak 50 peratus. Apabila mencapai tahap ini, vaksin tersebut boleh digunakan kepada masyarakat.\u201d\nPada Mei lalu, kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan rakyat Malaysia memilih jenis vaksin dalam PICK. Hal ini tidak lain tidak, bertujuan untuk mempercepat proses pemberian vaksin seterusnya membentuk imuniti kelompok di negara ini. Menurut laporan Sinar Harian pada 1 Jun lalu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr. Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, \u201cvaksin yang terbaik ialah vaksin yang paling cepat diberikan kepada rakyat\u201d.\nHal ini dikatakan demikian kerana walaupun formulasi setiap jenis vaksin berbeza-beza antara satu dengan yang lain, fungsi vaksin tetap sama, iaitu membina ketahanan badan melalui imuniti terhadap jangkitan.\nDalam laporan tersebut, Dr. Mohd Dzulkhairi turut berkata, \u201cada vaksin yang sesuai diberikan untuk situasi tertentu seperti wanita hamil, individu yang mengalami alahan dan sebagainya. Akan tetapi, pemberian jenis vaksin kepada golongan ini akan ditentukan oleh pihak kesihatan.\u201d Oleh itu, setiap penerima vaksin bertanggungjawab memberikan maklumat yang jujur, tepat dan telus berkenaan dengan tahap kesihatan masing-masing dalam usaha melancarkan program vaksinasi negara.\nDalam hal ini juga, seharusnya tidak timbul isu pemilihan vaksin dalam kalangan masyarakat kerana pada hakikatnya, tujuan utama pemberian vaksin COVID-19 di seluruh dunia adalah untuk mencapai imuniti kelompok. Imuniti kelompok dapat disimpulkan sebagai perlindungan daripada penyakit berjangkit yang terbentuk apabila sebahagian besar kelompok masyarakat mempunyai imuniti dan terlindung daripada jangkitan penyakit tersebut. Menurut WHO, dianggarkan 60 peratus hingga 70 peratus populasi dunia perlu mempunyai daya tahan terhadap COVID-19 bagi membolehkan imuniti kelompok dicapai dan penularan COVID-19 dapat dikawal.\nMenerusi PICK, pendekatan kerajaan adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin menjelang Februari 2022 untuk mengurangkan penularan virus COVID-19 di negara ini. Jika dilihat pada statistik vaksinasi di negara ini, hingga 21 Julai 2021, sebanyak 14.6 peratus daripada populasi Malaysia telah pun menerima suntikan vaksin. Pada 15 Julai lalu, Malaysia mencatatkan dos suntikan tertinggi yang pernah diberikan dalam sehari sepanjang PICK, iaitu sebanyak 460 158 dos suntikan vaksin COVID-19 diberikan kepada rakyat.\nSeiringan dengan hal ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kemajuan kadar vaksinasi harian di Malaysia yang kini melepasi kadar purata per kapita vaksinasi dunia memberikan gambaran negara berada pada landasan yang tepat dalam usaha mencapai imuniti kelompok. Justeru, perkembangan itu membolehkan negara mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat dan seterusnya dapat kembali kepada kehidupan normal seperti sediakala.\nNamun demikian, perkara ini tidak akan berjaya dicapai tanpa kerjasama penuh daripada semua rakyat Malaysia. Ketahuilah, matlamat pemberian vaksin tetap sama, iaitu untuk memutuskan rantaian penyebaran COVID-19, tanpa perlu memilih-milih jenis vaksin yang akan diterima jika tiada sebarang sebab yang munasabah." "Lebih 200 Organisasi Menggerakkan #RasuahBusters\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Walaupun hanya bermula pada Januari lalu, \u201c#RasuahBusters\u201c kini menjadi gelombang gerakan moral yang didukung oleh jutaan anggota daripada lebih 200 organisasi di seluruh negara.\nGabungan ini bersatu demi melaungkan kempen #RasuahBusters yang merupakan gelombang gerakan oleh rakyat demi rakyat untuk menghapuskan budaya memberi atau menerima rasuah serta sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa dalam ekosistem di negara ini. Hal ini bertujuan untuk membersihkan sistem nilai yang telah korup, yang berlaku di segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaun dan agama.\nKetua Pasukan Teras #RasuahBusters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, pemulihan gejala rasuah perlu dijalankan secara holistik dengan mengambil kira pandangan setiap rakan gabungan yang cukup berkepakaran dalam segmen kumpulan sasar masing-masing.\nTambah beliau, \u00e2\u20ac\u0153saya berasa bersemangat dan begitu terdorong dengan sokongan besar-besaran daripada setiap spektrum masyarakat, termasuk kalangan anak muda yang begitu komited untuk menerapkan integriti dalam sistem kepercayaan mereka. Walaupun perjalanan #RasuahBusters baru saja bermula, saya berharap agar sebarang perilaku rasuah tidak boleh lagi disembunyikan oleh sesiapa pun.\u201c\nHussamuddin turut menjelaskan, selain rakan gabungan meneruskan misi masing-masing, \u201cMalaysia Tanpa Rasuah\u201c akan menjadi laungan bersama dalam mencetuskan transformasi moral dan nilai untuk menjadikan rasuah sebagai musuh untuk diperangi bersama.\n#RasuahBusters bersama-sama rakan kongsi mengambil langkah proaktif untuk berjaya dalam strategi terasnya dengan mengaktifkan kempen berikut:\n\nDalam pada itu, #RasuahBusters dan gabungannya menganjurkan pelbagai program demi mencapai objektifnya dan mengajak pihak-pihak yang berminat untuk tampil dan bekerjasama menjadikan hal ini sebagai pencapaian bersama.\nUntuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kempen ini, sekretariat #RasuahBusters boleh dihubungi melalui:\nWhatsApp +6019-2128523 atau e-mel [email\u00a0protected]" "\u201cSelamat Berjuang, Wira dan Wirawati Negara!\u201c \u2013 Radzi Jidin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, mengucapkan \u201cSelamat Maju Jaya\u201c kepada kontinjen Malaysia yang akan berjuang dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021.\nDalam ucapan yang disampaikan menerusi satu hantaran Facebook, beliau turut menzahirkan penghargaan buat warga pendidik dan jurulatih yang berjaya melahirkan barisan atlet di negara ini.\nBeliau berkata, \u201cSaya difahamkan 18 atlet daripada 30 orang ahli kontinjen kita merupakan lepasan Sekolah Sukan Malaysia. Syabas buat warga pendidik dan jurulatih yang berjaya memupuk dan membentuk barisan atlet negara!\u201c\n\u201cSemoga ini dijadikan inspirasi buat semua pelajar Sekolah Sukan Malaysia kini,\u201c ujarnya.\nMenerusi hantaran tersebut, beliau turut mendoakan kesihatan, keselamatan dan kekuatan buat atlet Malaysia agar mereka dapat memberikan prestasi yang terbaik.\nOlimpik Tokyo 2020 akan memperlihatkan perjuangan\u00a0atlet Malaysia\u00a0dalam acara akuatik, badminton, basikal, gimnastik, golf, memanah, menembak, olahraga dan pelayaran.\n\u201cSelamat berjuang, wira dan wirawati negara! Semoga kejayaan milik Malaysia,\u201c ujar Radzi." "Satu Pingat Emas Sasaran Realistik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMalaysia meletakkan sasaran untuk memenangi tiga pingat dengan satu daripadanya ialah kilauan emas pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun, yang akan membuka tirainya secara rasmi pada 23 Julai ini.\n\nMenteri Belia dan Sukan, Dato\u2019 Sri Reezal Merican Naina Merican baru-baru ini menjelaskan, sandaran utama diletakkan kepada atlet daripada tiga jenis sukan, iaitu badminton, berbasikal trek dan akuatik terjun dalam usaha mencapai sasaran itu.\nSasaran itu dianggap realistik selepas mengambil kira pelbagai faktor dan pandangan banyak pihak antaranya barisan atlet, jurulatih, pengurus pasukan dan agensi seperti Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Sukan Negara serta Institut Sukan Negara.\nSasaran ini ada logiknya memandangkan atlet negara tidak mendapat banyak pendedahan antarabangsa berkompetitif tinggi beraksi sepanjang dua tahun belakangan ini disebabkan penularan pandemik COVID-19.\nDifahamkan, atlet negara hanya dapat menyertai 32 daripada 89 pendedahan pertandingan yang telah diluluskan pada tahun 2020 dan 27 kejohanan sahaja yang sempat mereka ambil bahagian pada tahun ini sehingga tarikh kelayakan Olimpik Tokyo 2020 ditutup pada hujung bulan lepas.\nJika dibandingkan dengan edisi terdahulu di Rio de Janeiro, Brazil, pada tahun 2016, kontinjen negara yang pada ketika itu diwakili oleh 32 orang atlet daripada 10 jenis sukan langsung tidak diletakkan sebarang sasaran tetapi masih mampu membawa pulang empat pingat perak dan satu gangsa.\nEmpat pingat perak dimenangi oleh legenda perseorangan badminton lelaki dunia, Datuk Lee Chong Wei; beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong; beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying; dan pasangan terjun sensasi negara, Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong dalam acara 10 meter (m) platform seirama.\nSatu gangsa Malaysia pula pada ketika itu diraih oleh jaguh acara berbasikal trek, Mohd Azizulhasni Awang yang baru sahaja dianugerahkan Darjah Kebesaran Dato\u2019 Paduka Mahkota Terengganu yang membawa gelaran \u201cDatuk\u201d.\nPengiktirafan tertinggi itu semestinya membakar semangat Azizulhasni untuk menempa kejayaan memandangkan beliau adalah antara atlet harapan negara untuk bergelar juara dalam dua acara yang disertai olehnya, keirin dan pecut di Izu Velodrome, Tokyo.\nSelain Azizulhasni, sandaran negara untuk meraih pingat emas pertama Olimpik Tokyo 2020 juga tertumpu kepada Pandelela yang mula memenangi gangsa sewaktu edisi London 2012 sebelum menukar kepada warna perak di Rio, lima tahun lalu.\nTurut menggalas tanggungjawab besar itu ialah skuad badminton negara terutama gandingan Peng Soon-Liu Ying, selain mempertaruhkan kemampuan anak jati Alor Setar, Kedah, yang merupakan juara perseorangan lelaki Terbuka All England 2021, iaitu Lee Zii Jia.\nMenariknya, pengumuman satu emas itu merupakan satu langkah berani yang diambil oleh Malaysia berbanding dengan tuan rumah, Jepun, yang dikhabarkan tidak menetapkan sebarang pingat, sama seperti Australia yang memansuhkan penetapan sasaran pada kali ini.\nBukan itu sahaja, negara jiran, Vietnam, yang meraih satu pingat emas dan satu pingat perak menerusi penembak, Hoang Xuan Vinh di Rio 2016, juga tidak meletakkan sebarang sasaran.\nSituasi yang sama dilakukan oleh Singapura yang tidak mahu meletakkan tekanan tinggi kepada barisan atletnya walaupun mempunyai pemegang rekod Olimpik dalam acara 100 m kuak kupu-kupu lelaki, Joseph Schooling. Schooling melakar sejarah itu menerusi catatan 50.39 saat (s) selepas meraih pingat emas Rio 2016 untuk memadam rekod lama Olimpik milik Michael Phelps yang terpaksa akur di tempat kedua pada peringkat akhir acara berkenaan.\nWalaupun berhadapan dengan kesukaran dan kekangan untuk melakukan persediaan yang terbaik, namun hal yang demikian bukan tugas mustahil buat 30 atlet terpilih negara untuk merealisasikan impian 32 juta rakyat Malaysia.\n\nCabaran negara pada hari pertama pembukaan Olimpik Tokyo 2020 akan dimulakan oleh dua orang pemanah negara, Khairul Anuar Mohamed dan Syaqiera Mashayikh. Mereka berdua akan mengharungi peringkat kelayakan untuk menentukan ranking individu masing-masing di Yumenoshima Park, pada 23 Julai.\nSelepas itu, giliran skuad badminton negara memulakan saingan peringkat kumpulan yang diketuai oleh Peng Soon-Liu Ying; beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; serta beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean pada 24 Julai, diikuti oleh Lee Zii Jia (25 Julai) dan seterusnya perseorangan wanita, Soniia Cheah Su Ya (27 Julai).\nSebagai rekod, skuad pelayaran yang diwakili oleh Khairulnizam Afendy, Nur Shazrin Latif, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali merupakan kumpulan pertama atlet Malaysia yang tiba di Tokyo pada 8 Julai lalu.\nNur Suryani Taibi (menembak); Pandelela, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri, Wendy Ng Yan Yee (terjun); Farah Ann Abdul Hadi, Jeremiah Loo Phay Xing (gimnastik artistik); Welson Sim, Phee Jinq En (renang); dan lapan orang pemain badminton menjadi kumpulan terbesar negara ke Tokyo pada 17 Julai lalu.\nDua orang pemain golf negara, Gavin Green dan Kelly Tan pula berlepas ke Tokyo pada 22 Julai.\nKumpulan terakhir berangkat ke Olimpik Tokyo 2020 pada 25 Julai ini ialah dua orang atlet olahraga, Lee Hup Wei dan Azreen Nabila Alias; Azizuhalhasni, Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal trek); dan Cheong Jun Hoong (terjun)." "KPM dalam Fasa Akhir Penelitian Pertukaran Guru\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa memberikan perhatian yang serius berhubung dengan isu pertukaran guru, malah menurut Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, KPM sedar perkara tersebut telah berlarutan sejak bertahun-tahun lamanya.\n\u201cSaya menerima pelbagai komen dan mesej berkaitan dengan permohonan pertukaran guru. Ada yang bertanya, apakah KPM tiada pendekatan baharu berhubung dengan dasar pertukaran guru? Untuk makluman, satu pendekatan yang lebih efisien dan menyeluruh berhubung dengan perkara ini kini berada dalam fasa akhir penelitian KPM. Apa-apa yang penting, dalam menimbang permohonan pertukaran guru, KPM perlu memastikan pembelajaran murid tidak terjejas. Hal ini bermaksud, kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran di negeri dan di tempat yang dimohon merupakan pertimbangan utama,\u201d jelas Dr. Radzi dalam kenyataannya yang dimuat naik menerusi Facebook miliknya pada petang ini.\nDr. Radzi turut menjelaskan bahawa beliau akan terus mencari kaedah yang terbaik dan memberikan perhatian untuk menyelesaikan isu tersebut.\n\u201cDari pagi tadi saya meneliti dokumen dan juga berbincang berkaitan hal pertukaran guru ini. Insya-Allah, KPM akan terus ikhtiarkan yang terbaik demi masa hadapan pendidikan anak-anak generasi pewaris negara. Apa yang penting, teruslah memberikan kepercayaan kepada kami! Yakinlah, kami sentiasa menjunjung amanah yang diberikan dengan sehabis baik,\u201d ujar Dr. Radzi." "\u201cSinkope\u201d dan \u201cklitik\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nApakah perbezaan antara sinkope dengan klitik?\n\u00a0\nDaripada:\nNorhayati Khamis,\nRompin, Pahang." "Sidang Khas Dewan Rakyat Bermula Esok\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nESOK, ahli parlimen akan menghadiri Sidang Khas Dewan Rakyat selepas persidangan Parlimen ditangguhkan sejak awal tahun ini berikutan pandemik COVID-19. Persidangan ini sesungguhnya amat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia lebih-lebih lagi apabila melihat peningkatan kes yang semakin melonjak sejak belakangan ini.\nSebagai rekod, pada hari ini Malaysia mencatatkan sebanyak 17 045 kes COVID-19, iaitu jumlah tertinggi yang pernah dicatatkan. Daripada jumlah tersebut, Selangor mendahului jumlah kes dengan 8500 kes, diikuti Kuala Lumpur (2045) dan Kedah (1216). Maka itu, Sidang Khas Dewan Rakyat diharapkan dapat mencari kaedah yang terbaik untuk Malaysia memutuskan rantaian COVID-19 dan memastikan imuniti kelompok mampu dicapai selaras dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).\nEsok juga akan menyaksikan buat pertama kalinya untuk tahun ini, ahli parlimen akan berkumpul di bawah satu bumbung bagi mendengar penerangan, mengajukan soalan dan membahaskan beberapa perkara berkaitan dengan Proklamasi Darurat dan langkah kerajaan untuk menangani pandemik COVID-19.\nPersidangan selama lima hari ini akan dilaksanakan secara bersemuka dengan kehadiran semua ahli parlimen di dalam dewan. Begitu pun, mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, iaitu penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dua lapis dan menjalani ujian saringan COVID-19 yang diwajibkan kepada semua ahli parlimen, petugas parlimen dan media yang hadir membuat liputan.\nUmum mengetahui bahawa persidangan Parlimen pada tahun ini tidak dapat diadakan berikutan perisytiharan darurat di seluruh negara yang bermula pada 12 Januari lalu dan berkuat kuasa hingga 1 Ogos ini. Pada ketika itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.\nSeri Paduka Baginda turut memberikan perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau hingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan. Perkenan tersebut diberikan selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu.\nMenurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin perkenan darurat itu mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara. Sekiranya pandemik COVID-19 tidak dibendung dan dikawal dengan berkesan, Yang di-Pertuan Agong percaya keadaan tersebut akan memudaratkan kesihatan rakyat dan kesejahteraan negara. Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menasihati rakyat supaya bertenang, tabah dan cekal dalam menghadapi pelaksanaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan demi keselamatan dan kepentingan bersama-sama.\nWalau bagaimanapun pada 16 Jun lalu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dapat dibahaskan oleh ahli Dewan Rakyat. Ternyata Seri Paduka Baginda amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai platform penting untuk wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya yang berkaitan dengan penularan wabak COVID-19. Ahli Dewan Rakyat juga diseru untuk berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat yang dalam kesempitan dan memfokuskan usaha memulihkan semula ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19.\nMaka itu, pada 5 Julai lalu, kerajaan bersetuju untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Sidang Khas Dewan Rakyat bagi penggal ketiga diadakan selama lima hari, iaitu pada 26 hingga 29 Julai 2021 serta 2 Ogos 2021, manakala persidangan Dewan Negara ditetapkan pada 3 hingga 5 Ogos 2021. Sidang Khas Parlimen merupakan mesyuarat yang diadakan semasa majlis dalam tangguhan dan mengikut Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat Peraturan 11 (3) urusan mesyuarat itu hendaklah ditetapkan oleh Perdana Menteri dan pemberitahuan berkenaan urusan itu perlu dihantar kepada ahli parlimen tidak lewat dari masa hendak diadakan mesyuarat itu.\nMesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 itu juga berbeza daripada mesyuarat penggal biasa antaranya tanpa istiadat pembukaan oleh Yang di-Pertuan Agong, perbahasan rang undang-undang (RUU) dan sesi soal jawab lisan. Sebaliknya, urusan mesyuarat khas itu adalah bagi membentangkan Proklamasi Darurat serta Ordinan-ordinan Darurat yang dibuat di bawah Proklamasi Darurat itu mengikut Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.\nTurut dijadualkan adalah pembentangan Proklamasi Darurat mengenai Pilihan Raya Kecil Parlimen Gerik, Perak dan Bugaya, Sabah, serta penerangan daripada menteri berhubung dengan PPN, program vaksinasi, pelaksanaan darurat dan pakej bantuan ekonomi.\nSebagai rekod, Sidang Khas Parlimen sebelum ini pernah diadakan ketika kerajaan berhadapan dengan isu Gaza pada 12 Januari 2009; MH17, pada 23 Julai 2014; dan Isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada 26 hingga 27 Januari 2016." "Rekod Kebangsaan Dipecahkan di Kolam Renang Tokyo\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTokyo\u00a0\u2013 Perenang wanita negara, Phee Jinq En mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100 meter (m) kuak dada pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 hari ini.\nAtlet berusia 23 tahun dari Subang Jaya, Selangor ini berjaya mencatat masa satu minit 08.40 saat (s) untuk menduduki tempat kedua peringkat saringan dua yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo, Jepun.\n\nCatatan itu sememangnya satu pencapaian yang amat membanggakan buat Jinq En yang baru menamatkan pengajiannya di Universiti Purdue di Indiana, Amerika Syarikat pada tahun ini. Catatan 1:08:40s itu berjaya memecahkan rekod lama 100m kuak dada kebangsaan, iaitu 1:08.50s yang dilakukan Jinq En sewaktu memenangi pingat emas pada Sukan SEA Manila 2019.\nWalau bagaimanapun, Jinq En terlepas peluang untuk menempatkan diri dalam kelompok 16 terbaik untuk melangkah ke separuh akhir 100m kuak dada apabila menghuni tangga ke-29 daripada keseluruhan 47 orang perenang. Begitu pun, pujian seharusnya diberikan\u00a0 kepada Jinq En kerana catatan itu jauh lebih bagus berbanding dengan prestasi yang ditunjukkannya ketika\u00a0 Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil." "Peluang Zii Jia Semakin Cerah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTOKYO \u2013 Pembawa Jalur Gemilang, Lee Zii Jia menepati ramalan selaku sandaran utama Malaysia apabila merakam kemenangan pertama dalam saingan Badminton Perseorangan Lelaki Kumpulan M Sukan Olimpik Tokyo 2020.\nZii Jia yang menghuni ranking kelapan dunia itu tidak menghadapi masalah untuk menjinakkan lawannya dari Ukraine, Artem Pochtarov dengan kemenangan 21-5, 21-11 di Plaza Sukan Musashino Forest, Jepun hari ini.\nKemenangan tersebut meletakkan bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu berada pada landasan yang tepat untuk melangkah ke pusingan kalah mati jika berjaya menumbangkan pemain Perancis, Brice Leverdez selepas ini.\nSelain Zii Jia, Olimpik Tokyo pada kali ini turut menyaksikan enam orang bekas pelajar SSBJ mewakili skuad badminton negara, iaitu perseorangan wanita, Soniia Cheah Su Ya; beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan pemain beregu campuran, Goh Liu Ying.\nWalau bagaimanapun, saingan gandingan Mei Kuan-Meng Yean dan Liu Ying serta pasangan beregu campurannya, Chan Peng Soon terkandas apabila peluang kedua-dua wakil negara itu ke pusingan seterusnya sudah pun tertutup.\nCabaran Aaron-Wooi Yik masih disandarkan apabila bakal turun ke gelanggang bertemu dengan pilihan kedua kejohanan dari Indonesia, Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan pada hari ini. Soniia pula akan turun memulakan kempen Olimpik Tokyo 2020 menentang Laura Sarosi yang dijadualkan berlangsung esok.\nSebagai rekod, SSBJ mempunyai 12 orang bekas pelajar yang bersaing di Tokyo pada ketika ini termasuklah Dato\u2019 Azizulhasni Awang untuk\u00a0 sukan berbasikal trek, Farah Ann Abdul Hani (gimnastik artistik), Lee Hup Wei (olahraga), Azreen Nabila Alias (olahraga) dan Welson Sim (renang).\nBukan sahaja SSBJ, malah Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) juga mempunyai enam orang bekas pelajar yang mewakili kontinjen negara di Tokyo, iaitu seorang pemanah, Syaqiera Mashayikh dan lima orang penerjun, Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Cheong Jun Hoong, Ng Yan Yee serta Nur Dhabitah Sabri." "Olimpik Tokyo: Azizulhasni dan Rahsia Jentera Bernilai RM13 Juta\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJaguh berbasikal trek negara, Dato\u2019 Mohd. Azizulhasni Awang mempertaruhkan basikal istimewanya yang dikatakan telah menelan kos perbelanjaan sehingga RM13 juta untuk meraih pingat emas pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.\nPelumba berusia 33 tahun dari Terengganu ini dilihat sudah tidak sabar untuk menguji jenteranya selepas mendapat versi sentuhan akhir basikal model WX-R Vorteq sebelum berlepas ke Jepun baru-baru ini. Hal itu sudah tentu membakar semangat Azizulhasni sebelum turun ke Velodrom Izu untuk membuka saingannya di pentas Olimpik Tokyo bagi kategori pecut yang dijadualkan pada esok, 4 Ogos 2021 sebelum berentap dalam acara kegemarannya, keirin tiga hari kemudian.\nMotivasi Azizulhasni kini berada pada tahap yang tertinggi kerana beliau berbekalkan \u201csenjata\u201d berwaran hitam dan perak yang telah menjalani proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang mencecah kos RM13 juta.\nBasikal itu dibina khas untuk Azizulhasni dan seorang lagi pelumba Olimpik negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menerusi kerjasama antara Institut Sukan Negara (ISN) dengan sebuah syarikat dari United Kingdom, TOTALSIM Ltd. yang mempunyai kepakaran dalam kejuruteraan aerodinamik.\nBoleh dikatakan kesemua peminat sukan tanah air juga sebenarnya sudah tidak sabar untuk melihat prestasi pecutan kedua-dua pelumba harapan negara itu menggunakan jentera WX-R Vorteq memandangkan harga pasaran basikal berkenaan dikatakan bernilai RM300 ribu. Harga tersebut sememangnya menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan para peminat sukan berbasikal yang mengatakan nilainya tidak masuk akal kerana harga tersebut mampu membeli sebuah kereta ataupun seunit pangsapuri kos rendah.\nWalau bagaimanapun, Azizulhasni tampil menjelaskan dalam temu bual menerusi Instagram Live Astro Arena baru-baru ini berkenaan harga basikalnya yang diperbuat daripada bahan karbon fiber yang menggunakan teknologi terkini aerodinamik yang bertujuan untuk memastikan rintangan angin lebih rendah.\nPemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil itu menjelaskan bahawa harga tersebut sengaja diletakkan dengan kadar yang tinggi agar tidak dibeli oleh pesaing daripada negara lain sebelum bermulanya temasya Olimpik Tokyo 2020. Hal itu juga bertujuan untuk melindungi teknologi basikal itu yang sudah melalui pelbagai proses R&D sejak empat tahun lalu supaya setiap data tidak \u201cdicuri\u201d oleh pelumba lain dalam perjalanan Malaysia memenangi pingat emas pertama di pentas Olimpik.\nMenurut Azizulhasni, setiap negara yang bertanding akan menggunakan pelbagai cara dan helah untuk menyembunyikan keistimewaan teknologi basikal masing-masing. Hal ini selepas badan induk berbasikal dunia, Union Cycliste Internationale (UCI) meletakkan syarat ketat bahawa setiap basikal dan peralatan yang akan digunakan dalam Olimpik Tokyo 2020 perlu dijual dan boleh dibeli oleh orang awam sebagai berlaku adil kepada semua negara yang bertanding termasuk Malaysia.\n\u201cKita cuba lindungi teknologi basikal kita daripada digunakan oleh orang lain. Kita sudah penat melabur dan lakukan banyak R&D. \u00a0Oleh sebab itu, pihak yang menguruskannya sengaja meletakkan harga yang tinggi dan tidak masuk akal supaya orang tidak membelinya. Ada sesetengah negara yang meletakkan harga yang sedikit mahal daripada pasaran, tetapi lebih rendah daripada kita dengan mengenakan syarat pembelian minimum adalah sebanyak 50 buah. Siapa nak beli basikal sampai 50 buah? Inilah strategi yang dilakukan oleh negara lain bagi mengelakkan basikal ciptaan mereka dibeli oleh negara pesaing,\u201d \u00a0Azizulhasni.\nAzizulhasni yang pernah menjuarai acara keirin pada Kejohanan Dunia 2017 di Hong Kong mendedahkan bahawa UCI berbuat demikian selepas menerima aduan daripada banyak negara termasuk Malaysia berhubung dengan penggunaan basikal \u201crahsia\u201d oleh dua gergasi Eropah, iaitu Jerman dan Great Britain dalam beberapa edisi Olimpik yang terdahulu.\nThe Pocket Rocketman itu berasakan bahawa Malaysia mempunyai keupayaan untuk memenangi perlumbaan, namun ketinggalan beberapa langkah ke belakang pada garisan permulaan disebabkan oleh faktor tertentu antaranya kelengkapan basikal yang Malaysia miliki tidak setanding dengan negara pemenang pada Sukan Olimpik Rio 2016. Mungkin tidak banyak yang mengetahui bahawa sukan berbasikal trek pada masa kini sudah diibaratkan seperti perlumbaan Formula Satu (F1) kerana melibatkan banyak penyelidikan dan mengguna pakai teknologi dalam setiap kelengkapan pertandingan.\nMaka itu, Olimpik Tokyo 2020 pada kali ini dilihat sebagai peluang terbaik untuk ISN membuktikan kepentingan sains, teknologi dan perubatan sukan dalam membentuk prestasi atlet pada tahap yang tertinggi. Jika berjaya membawa pulang pingat atau lebih manis dengan kilauan emas, kejayaan itu sudah tentu mampu menukar senario industri sukan era moden kini yang sudah tertumpu kepada tiga elemen tersebut dalam menentukan prestasi atlet hingga ke peringkat global.\nBegitu pun, semua itu bukanlah tugas yang mudah bagi skuad berbasikal negara bimbingan jurulatih dari Austalia, John Beasley kerana mereka perlu melepasi halangan raja pecut Great Britain, Jason Kenny. Selain Azizulhasni, Kenny juga mempunyai misi tersendiri kerana mahu menjadi pelumba Great Britain terbanyak memenangi Olimpik memandangkan beliau kini terikat dengan lapan pingat emas bersama-sama legenda negara berkenaan, Chris Hoy.\nISN menerusi Program Podium pastinya meletakkan harapan yang cukup tinggi buat Azizulhasni dan Shah Firdaus untuk menampilkan kayuhan luar biasa menggunakan basikal WX-R Vorteq agar badan induk itu boleh terus bekerjasama rapat dengan para atlet, persatuan sukan kebangsaan serta Majlis Sukan Negara.\nSeandainya membuahkan hasil, tidak mustahil ISN akan terus bertungkus lumus untuk memastikan Malaysia dapat melahirkan lebih banyak jaguh dunia yang akan menyinar pada peringkat antarabangsa, khususnya menjelang penganjuran Olimpik seterusnya, iaitu di Paris, Perancis pada tahun 2024. Ayuh Azizulhasni, buktikan Malaysia boleh!" "Memahami Nilai Negara Bangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSudah hampir 64 tahun negara merdeka dan menjadi sebuah negara yang berdaulat. Pada usia ini, sudah tentulah meletakkan kita amat dewasa untuk memahami dan menghormati nilai sebuah negara bangsa. Apabila Perjanjian Malaysia 1963 ditandatangani, maka lahirlah bangsa Malaysia yang berlandaskan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang diakui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).\nBangsa yang digunakan dalam konteks Malaysia dan negara beraja bersusur galur daripada rakyat raja. Rakyat raja merupakan istilah kerakyatan dan membawa maksud yang sama kepada kewarganegaraan. Oleh itu, bangsa itu wujud dalam kerangka kerajaan atau negara.\u00a0Sebuah negara atau empayar atau kesatuan tidak tersyarat untuk dibangunkan oleh satu etnik atau satu keturunan sahaja. Hal ini dikatakan demikian kerana tidak banyak negara yang terdiri daripada etnik tunggal. Orang Melayu sendiri terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik dan bukannya etnik tunggal.\nTertegaknya suatu negara, empayar atau kesatuan kerana adanya sistem politik yang menguruskan hal ehwal ahli komunitinya sama ada terdiri daripada satu etnik atau kumpulan etnik. Bangsa itu merujuk suatu negara, empayar atau kesatuan begitu juga sebaliknya. Ringkasnya, suatu bangsa itu boleh berada dalam bentuk negara, empayar atau kesatuan negeri-negeri.\nSementara itu, bangsa dari sudut sains politik dan undang-undang ditakrifkan dalam kerangka negeri atau negara. Bangsa berkerangka lebih besar daripada kumpulan etnik kerana etnik dan kumpulan etnik itu menjadi ahli komuniti dalam suatu bangsa, melainkan mereka yang tidak bernegara.\nNegara bangsa merangkumi dua elemen, iaitu aspek kewarganegaraan dan hubungan yang erat dengan watan sebuah negara yang berdaulat. Dalam kerangka kebangsaan Malaysia, Perlembagaan Persekutuan membenarkan perpaduan dalam kepelbagaian atau unity in diversities. Kepelbagaian dalam negara bangsa terserlah melalui kebebasan beragama serta amalan adat resam dan budaya yang berbeza dalam kerangka undang-undang.\u00a0\nTernyata di Malaysia, \u00a0setiap kaum boleh mengekalkan adat resam dan budaya masing-masing selari dengan dasar kebudayaan kebangsaan. Kebebasan beragama bagi setiap warganegara turut dijamin di samping kedudukan Islam sebagai agama bagi persekutuan. Hidup beragama ini menjadi teras kepada nilai kesopanan dan kesusilaan seperti yang dimasyhurkan dalam\u00a0 prinsip kelima Rukun Negara." "Wacana Air Mata Gaza Menyedarkan Masyarakat tentang Penderitaan Palestin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Program Suara dari Lembah Gaza (SDLG) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bermula pada 25 Julai 2021 diteruskan dengan program wacana yang bertajuk \u201cWacana Air Mata Gaza: Tawa dan Duka\u201d yang dianjurkan oleh DBP Wilayah Timur dan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Kelantan. Program ini disiarkan secara langsung melalui Studio\u00a0Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 30 Julai 2021 (Jumaat), pukul 10.30 pagi.\nProgram ini dianjurkan bertujuan untuk menelusuri kisah Palestin, menghayati pengorbanan mereka, dan menderma bagi menampung beban dan kesengsaraan hidup masyarakat Palestin, kesan daripada peperangan dan bedilan yang berpanjangan daripada Zionis Israel. Sumbangan yang diterima akan disalurkan kepada Palestin melalui Tabung Musa\u2018adah Palestin yang dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).\nProgram dimulakan dengan ucapan perasmian oleh YBhg. Dato\u2019 Haji A. Aziz Deraman, mantan Ketua Pengarah DBP merangkap Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), yang seterusnya mendeklamasikan sebuah sajak yang bertajuk Zionisme.\nPanel yang diundang khas bagi membicara isu Palestin ini ialah Abdallah I.S. S. [email\u00a0protected] atau lebih mesra dipanggil Abe Loh, iaitu rakyat Palestin yang telah menetap di Kelantan, manakala Haji Mat Nasir Ismail bertindak sebagai moderator.\n\nAbe Loh antara lain menyuarakan rasa sedih beliau akan penderitaan yang ditanggung oleh saudaranya di Palestin. Beliau menyeru rakyat Malaysia umumnya, dan umat Islam khususnya, untuk sama-sama membantu rakyat Palestin.\n\u201cPalestin bukan untuk orang Palestin sahaja. Ini tanah Islam, ada Masjid al-Aqsa dan tanah waqaf umat Islam, jadi semua kena tolong. Dan bukan untuk orang Islam sahaja kerana Isa a.s. juga lahir di sini. Ini soal kemanusiaan yang memerlukan perhatian seluruh dunia,\u201d katanya.\nMenurut Abe Loh, terdapat lebih dua juta rakyat Palestin di dalam penjara terbesar di Gaza. Israel pula telah menutup jalan ke Gaza, menyebabkan barang keperluan tidak dapat dibawa masuk. Penderitaan itu ditambah lagi dengan suasana pandemik COVID-19 dan 80 peratus rakyat Palestin tidak mempunyai pekerjaan.\n\u201cSaya minta tolong semua orang jangan lupa, jangan ada yang syahid baru kita bangun. Beritahu anak-anak tentang Palestin, dan tolong sentiasa doakan untuk mereka,\u201d ujarnya penuh harapan.\nProgram tersebut mendapat sambutan baik daripada khalayak dan rata-rata netizen memuji usaha yang dilakukan oleh pihak DBP ini.\nProgram diakhiri dengan persembahan oleh Siti Nur Zafran Zainal Abidin daripada Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan/Penyair Kebangsaan (GEMA) yang mendeklamasikan puisi bertajuk Aku Anak Perang." "Kebersamaan dalam Memperjuangkan Isu Kemanusiaan di Palestin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Isu kemanusiaan di Palestin tidak seharusnya dilihat dari aspek perjuangan agama semata-mata, namun harus dilihat daripada konteks kemanusiaan sejagat. Oleh itu, bersempena dengan program Suara dari Lembah Gaza, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Forum Nilai Murni Sejagat: Kebersamaan dalam Kepelbagaian yang disiarkan menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 10 pagi tadi.\n\nForum tersebut menampilkan dua orang panel yang juga merupakan aktivis kemanusiaan dalam memperjuangkan isu Palestin. Mereka ialah Teo Ann Siang, daripada MyCARE dan Krishna A/L Illangovan yang merupakan aktivis kemanusiaan. Apabila mengupas berkaitan dengan misi kemanusiaan yang dikendalikan oleh MyCARE, Ann Siang mengatakan bahawa MyCARE telah memberikan bantuan kemanusiaan kepada 22 buah negara, termasuklah di Kem Pelarian Cox\u2019s Bazar, Bangladesh dan Palestin.\nTanpa melihat isu Palestin sebagai isu agama semata-mata, Krishna telah terlibat secara aktif dalam mengetengahkan isu Palestin dengan mengadakan forum dan menghasilkan beberapa penulisan sebagai perkongsian dalam komuniti beliau. \u201cHasilnya, saya dan rakan-rakan telah berjaya mendedahkan isu kemanusiaan di Palestin dalam kalangan masyarakat Tamil, khususnya,\u201d tambah Krishna.\nIsu kemanusiaan yang dialami di Palestin, khususnya di Gaza turut mendapat perhatian daripada Kerajaan Malaysia sejak berdekad-dekad lamanya. Menurut Ann Siang, \u201csebagai bukti kerajaan Malaysia menentang sekeras-kerasnya penindasan yang dialami oleh rakyat Palestin, kerajaan Malaysia tidak pernah mengiktiraf kedudukan Israel sejak dahulu lagi dan sekali gus telah membuktikan bahawa Malaysia antara negara yang lantang bersuara dalam isu kemanusiaan di Palestin.\u201d\nIsu penindasan di Gaza kelihatannya tidak dapat menemui jalan pengakhiran. Hal ini dinyatakan oleh Ann Siang bahawa Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memaklumkan bahawa pada tahun 2020, Gaza tidak sesuai untuk didiami. Walau bagaimanapun, bantuan tetap terus disalurkan seperti perubatan, pendidikan, kewangan dan kemahiran.\nDalam konteks menyerapkan semangat kemanusiaan terhadap isu Palestin tanpa mengira agama dan budaya, Ann Siang berpendapat bahawa sistem pendidikan di negara kita seharusnya menerapkan isu kemanusiaan, terutamanya yang terjadi di Palestin dan jangan menganggap bahawa isu kemanusiaan merupakan isu bermusim semata-mata.\nSebagai tanda solidariti dan kebersamaan, bersama-samalah kita menyalurkan bantuan dalam meringankan penderitaan rakyat Palestin. Sumbangan wang tunai boleh disalurkan terus ke Tabung Musa\u2019adah COVID-19 JAKIM-YMM melalui nombor akaun 86-0221818-6 (Bank CIMB Islamic) dengan rujukan DBP Palestin. Forum tersebut boleh ditonton di sini." "Suara dari Lembah Gaza: Remaja dan Perjuangan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Program Diskusi Remaja: Remaja dan Perjuangan yang disiarkan secara langsung pada 31 Julai 2021 (Sabtu), pukul 2.00 petang menerusi Studio Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendapat sambutan dan respons positif daripada khalayak.\nProgram ini diadakan bersempena dengan program Suara dari Lembah Gaza anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka bersama-sama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UM), Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) dan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM).\nDiskusi remaja ini bertujuan untuk mengumpulkan dana untuk rakyat Palestin melalui Tabung Musa\u2019adah COVID-19 JAKIM-YWM (Yayasan Waqaf Malaysia) selain membincangkan isu yang berkaitan dengan remaja dan perjuangan mereka.\nSebanyak lima orang ahli panel diundang untuk mengupas isu yang dibincangkan, iaitu Wan Afiq Ikhwan Wan Alias, Azizah Arfian, Muhammad Aiman Lukqman Aizul Hisham, Muhammad Huzaifi Ismut dan Ahmad Aiman Afnan Ahmad Nazli. Moderator bagi program ini pula ialah Muhammad Firdaus Hamdan.\n\nSegmen pertama dalam program ini membincangkan pandangan kesemua ahli panel berkaitan dengan konflik antara Israel dengan Palestin dari sudut agama, sejarah, undang-undang, politik dan kemanusiaan. Bagi segmen kedua pula, terdapat kupasan tentang definisi perjuangan bagi remaja pada masa ini. Selain itu, terdapat juga diskusi tentang cara yang perlu dilakukan oleh remaja bagi menangani krisis identiti yang menjadi punca perjuangan mereka untuk menegakkan keadilan kabur atau kurang berkesan.\nSeterusnya, dalam segmen kedua juga ada membincangkan tentang pengaruh teknologi terhadap perjuangan remaja kini. Persoalan tentang remaja masa ini tiada misi dan visi, mempunyai mental yang lemah serta tiada hala tuju perjuangan yang jelas turut dikupas dalam program ini. Di samping itu, diskusi tentang cabaran yang dihadapi oleh remaja pada hari ini khususnya dalam pandemik COVID-19 dijelaskan secara terperinci oleh ahli panel.\n\u201cJika ingin melihat pemimpin pada masa hadapan, maka lihatlah anak muda pada hari ini,\u201d ujar Huzaifi.\nProgram diakhiri dengan dendangan lagu Berita kepada Kawan oleh Mohamad Ammal Shafiq Osman (Amal) daripada Akademi Fantasia. Tonton Diskusi Remaja: Remaja dan Perjuangan di sini." "ACeIO Malaysia Prihatin terhadap Integriti di Institut Pengajian Tinggi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Nerus \u2013 Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) Malaysia prihatin terhadap integriti di institusi pengajian tinggi (IPT) khususnya dalam kalangan mahasiswa dan sedia bersama-sama IPT baik universiti awam mahupun swasta dalam usaha membudayakan integriti dan antirasuah. Hal ini demikian kerana mahasiswa merupakan tunjang penting yang bakal mewarisi kepimpinan dan pentadbiran di negara ini.\nPresiden ACeIO, Ahmad Sabri Mohamed berkata demikian selepas mendengar pembentangan secara dalam talian oleh Pengerusi Perhubungan ACeIO Negeri Terengganu berkaitan dengan kolaborasi ACeIO dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam pembudayaan integriti dan antirasuah di universiti pada hari ini.\nProfesor Dr. Mazlan Abd Ghaffar menyambut baik kesediaan ACeIO untuk berkolaborasi dengan UMT dalam menganjurkan program dan aktiviti pengukuhan kebolehan serta kompetensi dalam pengurusan integriti serta antirasuah.\nBeliau yang menjalankan tugas sebagai Naib Canselor UMT ketika dihubungi berkata, hasrat ACeIO ini selari dengan falsafah UMT sendiri, iaitu ilmu dan amal yang bersepadu berlandaskan keimanan kepada Allah ialah tonggak kepada usaha universiti dalam menyediakan modal insan yang berwibawa untuk kesejahteraan sejagat. Mengulas lanjut, beliau berkata, UMT sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam pembudayaan integriti dan antirasuah khususnya dalam kalangan mahasiswa.\nPengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Terengganu, Ruslan Che Amad, mengalu-alukan keprihatinan semua pihak termasuklah IPT dan ACeIO dalam mengukuhkan nilai integriti dan antirasuah dalam kalangan masyarakat khususnya dalam kalangan mahasiswa. Pihaknya juga sentiasa bersedia membantu mana-mana pihak termasuklah IPT dan ACeIO dalam menjayakan agenda pengukuhan integriti dan antirasuah dalam masyarakat.\nBeliau mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada UMT serta ACeIO yang sentiasa bekerjasama rapat dengan SPRM dalam menjayakan program yang dianjurkan. Beliau berharap hubungan dan kerjasama yang sedia terjalin ini terus diperkukuh lagi demi Malaysia tercinta.\nPengerusi Perhubungan ACeIO Negeri Terengganu, Mohd Juhari Ab Kadir\u00a0 memaklumkan bahawa ACeIO berterima kasih kepada UMT dan SPRM yang sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama kepada ACeIO khususnya dalam menjayakan agenda integriti dan antirasuah dalam kalangan masyarakat termasuklah mahasiswa di Terengganu. Beliau berkongsi tentang persetujuan ACeIO yang akan berkolaborasi dengan UMT untuk menganjurkan Persidangan Antarabangsa Undang-undang, Integriti, Antirasuah dan Audit bersempena dengan Hari Integriti Nasional yang akan disambut pada November nanti.\nPersidangan yang akan diadakan secara dalam talian itu nanti menyasarkan penyertaan sebanyak 1000 orang daripada kalangan ahli akademik, pengamal undang-undang, pegawai integriti serta pegawai audit dari dalam dan luar negara. Persidangan ini juga diharap akan mengangkat masyarakat dan negara Malaysia di mata dunia sebagai masyarakat dan negara yang prihatin terhadap pembudayaan integriti dan antirasuah secara global.\nSehubungan dengan itu, beliau menyeru semua pihak agar sentiasa prihatin terhadap pembudayaan integriti dan antirasuah di Malaysia. Beliau juga mengajak semua sahabat CeIO untuk bersama-sama ACeIO membantu kerajaan dalam menjayakan agenda integriti dan antirasuah nasional." "Pelan Antirasuah DBP 2021 \u2012 2025: Manifestasi Ketelusan Perkhidmatan Awam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur, 5 Ogos 2021 \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus mengorak langkah dalam memberikan kualiti perkhidmatan yang lebih telus dan berintegriti kepada masyarakat. Hal ini jelas ditunjukkan melalui kesungguhan pelaksanaan organisasi yang baru sahaja meraikan ulang tahunnya yang ke-65 baru-baru ini dalam meningkatkan keutuhan dan keberkesanan tadbir urus di DBP.\nPelan Antirasuah DBP 2021 \u2013 2025 telah dilancarkan secara rasmi oleh Tan Sri Dato\u2019 Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara. Majlis pelancaran tersebut telah diadakan secara maya yang disiarkan secara langsung menerusi semua saluran media sosial rasmi DBP dan pelantar penerbitan digital DBP atau JendelaDBP pada pukul 2.30 petang. Yang turut hadir ialah Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP, dan Dato\u2019 Padilah Ali, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelan Antirasuah DBP 2021 \u2013 2025, serta seluruh warga kerja DBP.\n\u201cKerajaan sentiasa berusaha memerangi gejala rasuah secara serius khususnya dalam sektor awam. Maka atas sebab itu, Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) diperkenalkan sebagai inisiatif mandatori di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019 \u2013 2023, khususnya Strategi 2, iaitu \u2018Memperkukuh Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan Awam\u2019 dan Strategi 6, iaitu \u2018Memupuk Tadbir Urus Baik dalam Entiti Korporat\u2019,\u201d ujar Tan Sri Mohd Zuki dalam ucapan perasmiannya.\n\u201cBadan berkanun termasuk DBP diwajibkan membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dengan dibantu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) dan Institut Integriti Malaysia (IIM). Isu rasuah dan kelemahan tadbir urus dalam jentera kerajaan tidak pernah diabaikan malahan ditangani secara bersistem dan bersepadu,\u201d tegas beliau lagi.\nPelan ini dibangunkan berasaskan kerangka sistem kerja sedia ada dengan mengambil kira pandangan warga kerja DBP secara holistik. Pelan ini memberikan tumpuan terhadap empat Bidang Keutamaan, iaitu Tadbir Urus; Pengurusan Kewangan; Pengurusan Bahasa, Sastera dan Penerbitan; dan Khidmat Pengurusan. Selain itu, Pelan Antirasuah DBP 2021 \u2013 2025 telah menggariskan empat Strategi, tujuh Objektif Strategik dan 42 Inisiatif untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.\n\nAmalan rasuah merupakan suatu kesalahan undang-undang dan sosial yang boleh menjejaskan imej dan nama baik negara. Amalan ini, jika tidak dibendung, sudah tentu akan mengakibatkan kerugian yang besar kepada negara. Dalam konteks ini, penjawat awam ialah golongan yang paling berisiko terdedah kepada kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, khususnya pegawai yang menguruskan hal berkaitan dengan kewangan dan perolehan kerajaan sekiranya mereka tidak memiliki sikap amanah.\nTan Sri Mohd Zuki juga telah mengarahkan semua penjawat awam sama ada di peringkat kementerian, jabatan dan agensi kerajaan agar lebih proaktif dalam merekayasa sistem penyampaian perkhidmatan bagi memenuhi keperluan pelanggan dengan sebaiknya. Sekiranya terdapat kelemahan dalam prosedur atau peraturan, tindakan segera perlu dilaksanakan untuk membetulkannya. Kesediaan memantapkan kecekapan dalam pelaksanaan fungsi keseluruhan jabatan berteraskan prinsip cepat, tepat dan berintegriti perlu menjadi keutamaan. Sebarang kelewatan atau kerenah birokrasi melibatkan jabatan kerajaan perlulah dielakkan kerana hal ini bukan sahaja menjejaskan produktiviti malah boleh menimbulkan tanggapan negatif yang dikaitkan dengan amalan rasuah dan ketirisan.\nSebelum mengakhiri ucapan, Tan Sri Mohd Zuki turut merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Lembaga Pengelola DBP, pengurusan tertinggi, dan seluruh warga kerja DBP yang telah berusaha gigih membangunkan pelan ini. Beliau turut berharap pencapaian ini dapat dijadikan sumber inspirasi dan perangsang kepada agensi kerajaan yang lain dalam membangunkan pelan antirasuah di organisasi masing-masing." "DBK KPT-DBP: Bukti Kemegahan terhadap Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Bersempena dengan Program Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2022,\u00a0 Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada pagi ini menganjurkan Pertandingan Sahibba yang melibatkan penyertaan kakitangan awam KPT dan agensi di bawahnya.\nBertempat di Pusat Sumber KPT, pertandingan tersebut berjaya menarik sebanyak 16 orang peserta yang berentap merebut hadiah utama berupa wang tunai dan hadiah iringan berupa majalah terbitan DBP. \nSetelah bersaing dalam tiga pusingan, dengan mengumpulkan markah sebanyak 242 (pada pusingan akhir), Nik Zarifahana Mohd Fakri, Pembantu Pustakawan Bahagian Khidmat Pengurusan KPT, berjaya dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Sahibba DBK KPT-DBP 2022.\n\u00a0\nSementara itu, naib johan disandang oleh Nor Hafizah Abdul Rahman, dari Bahagian Education Malaysia (BEM) Jabatan Pengajian Tinggi yang berjaya mengumpulkan 236 markah. Nur Khairunnisa Abu Hasan, dari Bahagian Akaun, pula berjaya menyandang tempat ketiga dengan markah terkumpul sebanyak 230. Antara tujuan utama pengajuran Pertandingan Sahibba DBK KPT-DBP termasuklah memperbanyak kosa kata dan mempersegar kecintaan serta kemegahan terhadap bahasa kebangsaan dalam kalangan warga KPT. \nDBK merupakan kesinambungan pelaksanaan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) yang diperkenalkan pada tahun 1999 bagi menyahut saranan kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu. Maka itu, selaras dengan hasrat menjadikan kegiatan DBK sebagai kegiatan yang mendapat penyertaan yang lebih meluas dan berkesan, DBK dilaksanakan secara bersepadu dengan pelbagai pihak termasuklah kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan. Semenjak itu, KPT merupakan antara jabatan kerajaan yang aktif melaksanakan kegiatan kebahasaan dan sentiasa terlibat secara langsung dalam pelaksanaan program DBK.\nBersempena dengan DBK 2022, KPT-DBP turut menganjurkan Sayembara Pidato, Sayembara Nyanyian Lagu Rakyat dan Sayembara Poster Kajian yang akan berlangsung pada Julai 2022." "Selamat Bersara TKPD: Srikandi DBP yang Disanjungi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Seluruh warga kerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) petang tadi merakamkan penghargaan yang tinggi terhadap Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Dato\u2019 Hajah Padilah Haji Ali atas segala jasa dan sumbangan yang dicurahkan kepada DBP selama tempoh 36 tahun 5 bulan 18 hari.\nBeliau mula berkhidmat di DBP sejak 18 Februari 1985 sebagai Pegawai Penyelidik Gred A20. Sepanjang perkhidmatannya, beliau banyak mengutip pengalaman semasa bertugas di Bahagian Penerbitan Umum/Am (1985), Bahagian Penerbitan Sastera (1995), Bahagian Majalah (1996), Bahagian Sains Sosial dan Kemanusiaan (2000), Bahagian Majalah (2003), Bahagian Buku Umum (2012), Pentadbiran Jabatan Penerbitan (2014), dan Pentadbiran Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera (2016).\nJawatan terakhir beliau sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Gred VU6 adalah di Bahagian Pentadbiran Pejabat Timbalan Ketua Pengarah (Dasar).\nPersaraan wajib beliau diadakan dalam majlis yang sederhana tetapi amat bermakna dengan penyesuaian mengikut suasana kebiasaan baharu yang turut diraikan oleh pengurusan tertinggi DBP dan seluruh warga kerja DBP.\nMemetik kata Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, walaupun Dato\u2019 Padilah sudah bersara, sumbangannya tetap diperlukan bagi pembinaan bahasa, sastera dan penerbitan DBP.\nMengulas lanjut tentang sumbangan Dato\u2019 Padilah terhadap DBP, beliau berkata, penyertaan Dato\u2019 Padilah dalam pembinaan bahasa, sastera dan penerbitan, secara tidak langsung telah mengangkat dan menjunjung bidang ini sebagai wadah ilmu untuk DBP dan masyarakat.\nKegigihan bekerja yang ditonjolkan oleh Dato\u2019 Padilah turut diakui oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, \u201cBeliau tidak pernah mengambil cuti sakit walaupun akan bersara pada hari ini. Walaupun kita berada dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau tetap mempengerusikan mesyuarat tanpa mengira waktu dari pagi hingga lewat malam sebelum meninggalkan DBP.\u201c\nBeliau juga, tanpa ragu-ragu berani memikul tanggungjawab sebagai peneraju dalam membangunkan pelantar penerbitan digital DBP menerusi JendelaDBP yang secara tidak langsung memberikan impak positif kepada DBP dan masyarakat. Usaha murni ini sangat dibanggakan untuk mendokong pendigitalan perkhidmatan awam.\n\u201cBeliau sudah membina landasan DBP yang sangat kukuh; fasa terakhir sedang dilakukan dengan membina struktur sebaik mungkin yang memberikan manfaat kepada staf dengan beberapa perubahan yang sudah ditambah baik. Beliau sudah mencipta tapak landasan yang kemas, dan pelapis seterusnya akan menyambung legasi yang ditinggalkan oleh beliau.\u201d katanya lagi.\n\u201cEditor perlu rajin menyemak dan mencatat segala kesilapan penyuntingan. Rujukilah dua buah buku ini, iaitu Tatabahasa Dewan dan Gaya Dewan dan sebuah buku lagi, iaitu Kamus Dewan.\u201c Hampir setiap hari Dato\u2019 Padilah akan mengingatkan pesanan ini.\nSuka tidak suka, kita perlu berdoa kepada Allah agar kita diberikan kekuatan untuk seronok bekerja. Saya sentiasa bermohon kepada Allah supaya warga kerja DBP sentiasa melakukan kerja dengan sebaik-baiknya, jangan mudah patah semangat atau lemah semangat, lakukan perubahan sikap dan budaya kerja.\nDemikianlah pesanan yang sempat dititipkan kepada semua warga kerja DBP.\n\u00a0\n\u00a0\nSELAMAT BERSARA DATO\u2019 HAJAH PADILAH HAJI ALI\nWarga DBP mendoakan YBhg. Dato\u2019 agar dipanjangkan usia, dikurniakan kesihatan yang baik dan berbahagia bersama-sama keluarga tersayang." "Haji Md. Johari Hasan Dilantik sebagai TKPD DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\nKuala Lumpur \u2013 Mesyuarat Khas Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Bil. 2/2021 meluluskan Tuan Haji Md. Johari Hasan memangku jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, berkuat kuasa pada hari ini. Beliau menggantikan Dato\u2019 Hajah Padilah Haji Ali yang bersara wajib pada 5 Ogos 2021.\nHaji Md. Johari sebelum ini merupakan Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP. Beliau telah berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka selama lebih dari 27 tahun, bermula pada 1 November 1993. Dalam tempoh perkhidmatan beliau di DBP, beliau pernah menyandang jawatan Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera (2019 \u2013 2020) dan menerajui beberapa bahagian penting di DBP, antaranya Bahagian Promosi dan Pengiktirafan (2018 \u2013 2019; 2012 \u2013 2016), Bahagian Peristilahan dan Leksikologi (2016 \u2013 2018), Bahagian Perkamusan (2016), Bahagian Penguatkuasaan (2010 \u2013 2012) dan Bahagian Dasar Bahasa (2008 \u2013 2010).\nDBP meletakkan sepenuh keyakinan terhadap Haji Md. Johari untuk menggalas tanggungjawab sebagai antara barisan kepimpinan utama DBP dan seterusnya meningkatkan lagi prestasi DBP dalam memartabatkan bahasa, sastera dan penerbitan negara. Tahniah diucapkan kepada Haji Md. Johari Hasan." "Memerangi Jenayah Rasuah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Majlis Perundingan Melayu telah menganjurkan Forum Perangi Jenayah Rasuah menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada 6 Ogos 2021 (Jumaat), pukul 5.00 petang.\n\nForum ini menampilkan Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa selaku moderator, serta mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Pengerusi Rasuah Busters, Dato\u2019 Hussamuddin Yaacub; dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan selaku ahli panel.\nMenurut Mohd Zai, jenayah rasuah merupakan masalah yang mengganggu kestabilan dan kesejahteraan negara kerana berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2020, kedudukan Malaysia jatuh ke kedudukan ke-57 berbanding dengan tangga ke-51 pada tahun 2019. Hal ini menunjukkan jenayah rasuah di negara ini berada pada tahap yang membimbangkan.\u00a0\nBagi mengulas mengenai perkara ini, Tan Sri Musa Hassan berkata, \u201cpeningkatan jenayah rasuah di negara terjadi disebabkan berlaku kemerosotan nilai murni dalam kalangan masyarakat. Masyarakat pada hari ini lebih mementingkan kebendaan menyebabkan mereka terjerumus dalam kancah jenayah ini. Selain itu, disiplin yang kian merosot dalam kalangan pegawai penguat kuasa membuka ruang kepada pemberi dan penerima rasuah untuk menjalankan amalan yang tidak bermoral ini.\u201c\nMenurut beliau juga, dalam memerangi jenayah rasuah, masyarakat perlu diberikan kefahaman dan mereka sendiri perlu menolak rasuah. Integriti perlu bermula daripada pemimpin dan kita perlukan reformasi terhadap peraturan dan sistem yang lebih telus.\nDalam pada itu, Dato\u2019 Hussamuddin Yaacub yang juga merupakan Pengerusi Kumpulan Karangkraf menekankan mengenai peranan media dalam usaha memerangi jenayah ini. Menurut beliau, media bertanggungjawab memastikan sistem berasaskan nilai kembali ke dalam hati rakyat.\nMedia perlu membuat kempen yang berkesan supaya masyarakat sentiasa sayang dan takut akan Tuhan, di samping sentiasa menghebahkan mengenai perlembagaan agar masyarakat berasa takut untuk melakukan amalan rasuah ini.\n\nUntuk membangunkan nilai integriti dalam kalangan masyarakat, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berkata, \u201cdalam hal ini, perlu ada strategi jangka masa panjang dan pendek. Strategi jangka masa panjang antaranya adalah dengan melakukan perubahan pada sistem pendidikan dengan cara penyepadukan ilmu dengan akhlak, serta peranan keluarga dan masyarakat dalam mengekang penularan amalan rasuah.\u201c\n\u201cBagi strategi jangka masa pendek pula, kita perlu kepada pindaan undang-undang dan mekanisme kawalan yang memberikan impak yang besar kepada peribadi manusia,\u201c tambah beliau." "Vaksinasi Tanpa Janji Temu untuk Petugas Bawah KPM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Melalui kerjasama rapat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), golongan guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP) dan pekerja perkhidmatan sokongan di sekolah bawah KPM adalah antara kumpulan khas yang disenaraikan oleh CITF untuk mendapatkan vaksinasi tanpa janji temu (walk-in vaccination). Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi hantaran di media sosial beliau.\nDalam hantaran tersebut, beliau menyeru supaya guru, AKP serta pekerja perkhidmatan sokongan yang masih belum menerima janji temu dos pertama vaksin atau belum mendaftar mengambil tindakan segera untuk mendapatkan vaksin masing-masing. Tambah beliau, \u201cperincian mengenai pemberian vaksin tanpa janji temu bagi kumpulan khas sekolah di bawah KPM, termasuklah keperluan dokumen sokongan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.\u201c\nBeliau turut berkata, usaha untuk memastikan mereka yang berada dalam ekosistem pendidikan di sekolah menerima vaksin akan terus dipergiat melalui Pasukan Petugas Khas KPM-CITF.\nMengikut rekod KPM, hingga 7 Ogos 2021, sebanyak 352 649 orang guru (85.41 peratus), 52 256 orang AKP (77.69 peratus) dan 54 930 orang pekerja perkhidmatan sokongan termasuklah operator bas atau van sekolah (46.64 peratus) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. Bagi guru kelas peperiksaan pula, sebanyak 84 995 orang (94.89 peratus) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.\n\u201cMarilah sama-sama kita menjayakan program vaksinasi negara bagi membawa Malaysia keluar daripada kemelut pandemik COVID-19,\u201c ujar beliau." "Integriti Imuniti Organisasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Rasuah yang membarah dalam masyarakat umpama pandemik COVID-19 yang melanda. Hal ini bukan sahaja memberikan kesan buruk kepada individu, malahan melemahkan sistem penyampaian perkhidmatan dan melumpuhkan ekonomi, seterusnya meruntuhkan sesebuah tamadun. Mencegah rasuah juga perlu melalui pendekatan yang sama seperti pencegahan jangkitan wabak, iaitu dengan memutuskan rantaiannya sehingga mencapai imuniti kelompok atau herd immunity dengan elemen rasuah tidak dapat memasuki atau tersebar dalam kelompok masyarakat atau organisasi.\n\u201cIntegriti imuniti merupakan satu pendekatan yang seiras dengan pencegahan COVID-19 dan bertujuan untuk mencegah penularan amalan atau gejala yang tidak baik, khususnya rasuah daripada meresap dan membarah dalam diri, organisasi serta masyarakat. Menghindari rasuah dan mewujudkan Komuniti Imuniti \u2013 Imuniti Kelompok (Herd Immunity) atau Pasukan Imuniti Kelompok (Corp-Herd Immunity) yang boleh menolak rasuah ialah tanggungjawab semua pihak,\u201d ujar Ketua Perhubungan Masyarakat dari Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jayantha Kumar Sen Gupta selaku moderator Wacana Integriti ACeIO (WI ACeIO) dengan tajuk \u201cMalaysia Prihatin: Integriti Imuniti Organisasi\u201d pada hari ini yang dilaksanakan secara dalam talian.\nPengerusi Perhubungan ACeIO Sektor Awam, Asrul Shah Razali selaku panel undangan berkata, cara terbaik untuk mencapai imuniti kelompok antirasuah adalah melalui pemberian vaksinasi integriti kepada semua lapisan masyarakat. Menurut beliau, vaksinasi integriti ini perlu bermula di rumah dan di peringkat kanak-kanak lagi. Ibu bapa memainkan peranan yang besar untuk membentuk imuniti dalam diri anak-anak yang boleh mencegahnya daripada dijangkiti atau diresapi oleh amalan-amalan yang tidak berintegriti.\n\u201cApabila berada dalam organisasi, ketua jabatan atau pengurusan tertinggi organisasi bertanggungjawab sepenuhnya untuk membentuk Pasukan Imuniti Kelompok Antirasuah (Anti-Corruption Corp-Herd Immunity) dalam kalangan warga organisasi,\u201d jelas Asrul Shah. Menurut beliau lagi, pengukuhan integriti ialah tindakan berterusan yang perlu dilaksanakan di semua peringkat khususnya dalam organisasi dan tidak boleh terhenti walaupun telah mencapai tahap Komuniti Imuniti \u2013 Imuniti Kelompok (Herd Immunity) atau Pasukan Imuniti Kelompok (Corp-Herd Immunity) .\nSeorang lagi panel WI ACeIO, iaitu Pengerusi Perhubungan ACeIO Sektor Swasta, Nurirdzuana Ismail menjelaskan bahawa pematuhan kepada sistem dan prosedur juga adalah perlu bagi mewujudkan persekitaran berintegriti yang akan membentuk prinsip pentadbiran berintegriti. Menurut beliau, integriti perlu diperkukuh dari dalam mahupun luaran sehingga diterjemahkan menjadi budaya dalam komuniti atau organisasi. Bahkan, integriti perlu terus diperkukuh biarpun sebahagian besar daripada anggota komuniti atau warga organisasi tersebut telah mencapai imuniti kelompok dan terlindung daripada penyebab atau punca penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah.\n\u201cPengamalan integriti dalam organisasi perlu dizahirkan oleh warga organisasi dan dimaklumkan kepada semua pihak, khususnya pihak yang berkepentingan dengan organisasi. Menjadi peranan dan tanggungjawab pegawai integriti termasuklah CeIO yang merupakan barisan hadapan dalam pembudayaan integriti dan antirasuah untuk memastikan imuniti kelompok antirasuah berjaya dicapai demi memutuskan rantaian rasuah dalam organisasi dan komuniti,\u201d ujar Nurirdzuana." "Satu Perak, Satu Gangsa Menutup Tirai Malaysia di Tokyo\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTOKYO \u2013 Malaysia berjaya menuai sebutir pingat perak pada saingan hari terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi jaguh berbasikal trek, Dato\u2019 Mohd. Azizulhasni Awang dalam acara Keirin di Velodrom Izu pada hari ini. Persembahan penuh bertenaga, semangat dan kudrat daripada anak jati Dungun, Terengganu yang berusia 33 tahun dan terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman ini bukan sahaja membanggakan \u00a0negara malah membuka mata dunia dengan keupayaan luar biasanya apabila menjadi \u00a0satu-satunya pelumba dari Asia yang mampu mencabar pelumba dari negara Eropah dalam acara akhir tersebut.\nKejayaan penuh bermakna itu menyaksikan kontinjen negara melabuhkan tirai Tokyo 2020 dengan meraih satu pingat perak dan satu pingat gangsa yang terdahulu dimenangi oleh beregu lelaki, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menerusi acara badminton.\nSecara keseluruhan, Malaysia mengakhiri temasya Olimpik 2020 pada kedudukan ke-74 carta pungutan pingat dan muncul negara Asia Tenggara ketiga terbaik di belakang Filipina yang berada pada kedudukan ke-50 dengan satu emas, dua perak dan satu gangsa.\nIndonesia pula menghuni tangga ke-55 dengan satu emas, satu perak dan tiga gangsa, manakala Thailand berada pada kedudukan ke-59 menerusi satu emas dan satu gangsa.\nAmerika Syarikat terus menepati ramalan selaku juara keseluruhan untuk tiga edisi Olimpik berturut-turut apabila pada kali ini memenangi sebanyak 39 pingat emas, 41 perak dan 33 gangsa, diikuti China pada kedudukan kedua (38 emas, 32 perak, 18 gangsa), dan tuan rumah, Jepun dengan penuh bangga berada pada kedudukan ketiga (27 emas, 14 gangsa, 17 gangsa).\nMalaysia tentunya akan melakukan pascanilai bagi mengenal pasti atlet yang berpotensi sebagai prospek pingat emas untuk edisi Olimpik seterusnya, iaitu di Paris, Perancis pada tahun 2024. Persediaan seharusnya bermula dengan lebih awal memandangkan atlet pada kali ini hanya mempunyai tempoh tiga tahun sahaja sebelum menghadapi Olimpik Paris 2024 khususnya bagi merealisasikan impian memburu pingat emas pertama Malaysia." "Biar Apa-apa Pun Warnanya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nWira dan jaguh berbasikal trek negara, Dato\u2019 Mohd Azizulhasni Awang membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia merupakan pesaing terhebat dalam acara Keirin setelah beliau meraih pingat perak Olimpik 2020 dalam acara tersebut di Velodrom Izu pada pagi tadi.\nKejayaan luar biasa yang diraih oleh pelumba berusia 33 tahun ini sememangnya amat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia. \u00a0Meskipun impian pingat emas pertama negara tidak mampu digenggam, namun Azizulhasni telah membuktikan bahawa beliau ialah wira negara di pentas Olimpik lebih-lebih lagi apabila Azizulhasni memperbaik pencapaiannya yang sebelum ini meraih pingat gangsa pada Olimpik Rio 2016.\nMengiringi kejayaan itu, rata-rata media sosial dibanjiri dengan rakaman ucapan tahniah dan kata-kata semangat buat wira negara ini dan kontinjen negara yang telah bertarung di pentas Olimpik 2020.\nYang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Azizulhasni atas kejayaannya meraih pingat Perak.\n\u201cSeri Paduka Baginda berdua menyifatkan pencapaian Azizulhasni ini sebagai pencapaian yang amat bermakna kepada Malaysia. Semestinya seluruh rakyat Malaysia amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang ditunjukkan oleh Azizulhasni,\u201d kata Istana Negara menerusi kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.\nSementara itu, menerusi hantaran Facebook Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin, beliau menyifatkan kejayaan Azizulhasni meraih pingat perak telah menambahkan keceriaan kepada kontinjen negara sebelum temasya sukan berkenaan melabuhkan tirainya pada malam ini.\n\u201cBiar apa-apa pun warnanya, kilauan pingat yang dikutip pada pentas sukan terbesar ini tentunya memberikan makna yang cukup signifikan buat anda (Azizulhasni) dan juga negara apabila melihat Jalur Gemilang dinaikkan. Seluruh rakyat Malaysia pastinya amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang anda tunjukkan. Saya turut berasa sayu melihat tangisan kemenangan sebentar tadi. Kami di Malaysia amat memahami perasaan serta kesukaran yang anda lalui sepanjang temasya ini. Terima kasih saya ucapkan atas segala pengorbanan anda demi negara,\u201c ucap Perdana Menteri.\nDalam acara itu, pingat emas dimenangi oleh pelumba Britain, Jason Kenny yang sekali lagi mempertahankan pingat yang dimenanginya pada Olimpik Rio 2016, manakala pelumba Belanda, Harrie Lavreysen memenangi pingat gangsa." "Hijrah ke Arah Pengukuhan Integriti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Peristiwa hijrah telah memberikan panduan yang jelas tentang erti sebuah pengorbanan dan perubahan dalam pengukuhan integriti yang terpahat dalam lipatan sejarah. Sesungguhnya, menghayati hijrah berupaya membentuk akhlak dan peribadi mulia yang menjadi asas kepada pembentukan jati diri dan integriti.\nTimbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato\u2019 Junipah Wandi berkata, sudah tiba masanya semua pihak mengubah pandangan terhadap peranan masing-masing dalam mendepani cabaran dan kemelut yang melanda negara.\nSemua pihak juga perlu memikirkan cara dan kaedah untuk melakukan perubahan dalam menjayakan peranan serta tanggungjawab membudayakan integriti dan antirasuah secara lebih berkesan.\nBeliau turut menyarankan supaya perubahan dapat dilakukan dalam penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dengan memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK).\nBeliau turut menyeru semua pihak khususnya Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) untuk melakukan perubahan dengan sentiasa berusaha mengukuhkan kompetensi, jati diri dan integriti.\nPresiden Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO), Ahmad Sabri Mohamed\u00a0ketika dihubungi menyambut baik saranan Dato\u2019 Junipah. Menurut beliau, banyak perubahan telah dibuat oleh ACeIO khususnya untuk membantu ahli persatuan. Bahkan dalam tempoh pandemik ini, ACeIO turut memanfaatkan kemudahan TMK dalam mengukuhkan jati diri dan kompetensi ahlinya melalui program serta aktiviti yang berkualiti.\u00a0\nAntara program dan aktiviti yang dilaksanakan untuk manfaat ahli ACelO adalah dengan mengadakan program seminar secara berkala, wacana dan perkongsian amalan terbaik integriti secara dalam talian.\n ACeIO juga menerbitkan pelbagai berita dan artikel yang turut dikongsikan di laman sosial secara harian. Selain itu, ACeIO juga berkolaborasi dengan beberapa pihak termasuklah SPRM serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam penerbitan digital.\nAhmad Sabri turut berkongsi program serta aktiviti yang akan dilaksanakan oleh ACeIO. Antaranya termasuklah program simposium integriti dengan kerjasama kerajaan negeri dan persidangan antarabangsa secara kolaborasi dengan universiti.\nSehubungan dengan itu, beliau mengajak semua pihak agar mengambil semangat hijrah untuk bersama-sama ACeIO untuk melakukan perubahan dengan mengukuhkan kapasiti dan kebolehan berasaskan integriti serta mencipta kejayaan dalam pembudayaan integriti dan antirasuah di negara tercinta ini." "Sesi Persekolahan Secara Bersemuka dan Situasi Semasa Pandemik COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSejak awal tahun 2021, berlaku peningkatan kes COVID-19 yang mendadak di negara ini. Perkembangan tersebut bukan sahaja menjejaskan sektor ekonomi, malah turut memberikan risiko kepada pelbagai sektor sosial termasuklah sektor pendidikan.\nKementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan medianya pada 17 Julai lalu, mengumumkan bahawa sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan diteruskan hingga 31 Ogos 2021 dan juga menetapkan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka mulai 1 September 2021.\n\nKeputusan yang diambil ini mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta perbincangan bersama antara KPM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).\nTarikh menuju 31 Ogos 2021 berbaki lebih kurang dua minggu lagi. Ibu bapa pastinya berasa gusar untuk menghantar anak-anak mereka hadir ke sekolah bagi mengikuti sesi persekolahan secara bersemuka. Hal ini dikatakan demikian kerana kes baharu COVID-19 yang dilaporkan oleh KKM tidak menunjukkan penurunan. Hingga 14 Ogos 2021, jumlah kes baharu yang dicatat adalah sebanyak 20 670.\nWalaupun begitu, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana pembukaan sekolah secara bersemuka ini pastinya akan mengambil kira penilaian risiko semasa yang akan dilakukan secara terperinci oleh pihak KKM dan MKN.\nHal ini dikatakan demikian kerana sebelum ini, sesi persekolahan secara bersemuka yang bermula pada 1 Mac lalu juga terpaksa dijadualkan semula apabila berlaku peningkatan kes COVID-19 di seluruh negara. Keadaan ini membuktikan bahawa penetapan takwim persekolahan meskipun telah diumumkan, namun masih bergantung pada perkembangan semasa pandemik COVID-19.\nSelain itu, menurut data KPM, hingga 7 Ogos 2021, sebanyak 352 649 orang guru atau meliputi 85.41 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala bagi guru kelas peperiksaan pula merekodkan sebanyak 84 995 orang (94.89 peratus).\nJumlah vaksinasi dalam kalangan guru juga pastinya menjadi kriteria penting dalam penetapan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka kelak. Hal ini telah dinyatakan oleh pihak KPM dalam kenyataan medianya pada 17 Julai yang lalu bahawa KPM sentiasa bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan di sekolah dapat terus dipertingkatkan.\nSelain guru, pentadbir dan kakitangan sekolah, pada 13 Ogos lalu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin melalui ciapan beliau di Twitter menyatakan bahawa vaksinasi akan diberi kepada individu yang berumur antara 12 hingga 17 tahun mengikut keutamaan, iaitu individu yang mempunyai masalah kronik, diikuti dengan mereka yang tidak mempunyai masalah kesihatan. Menurut Khairy, perkara ini akan diumumkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) pada minggu depan.\nPerkara ini juga pastinya akan diambil kira oleh KPM dalam menentukan pembukaan sekolah secara bersemuka. Hingga hari ini, belum ada sebarang ketetapan baharu berhubung dengan pembukaan sekolah seperti yang telah digariskan oleh MKN pada 10 Ogos lalu, iaitu:\nYang jelas, dalam membuat sebarang keputusan, KPM pastinya akan mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 negara menerusi pertimbangan yang dibuat oleh \u00c2\u00a0KKM dan MKN. KPM juga sudah menjelaskan dalam sidang medianya sebelum ini bahawa sebarang perubahan akan dimaklumkan lebih awal, iaitu selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka. Maka itu, semua pihak seharusnya tidak menimbulkan polemik, sebaliknya bersabar dan menunggu pengumuman rasmi daripada MKN dan KPM.\nKPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik." "Forum Sejarah Kemerdekaan: Mengimbau Sejarah Kemerdekaan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala\u00a0 Lumpur \u2013 Perpaduan nasional ialah perpaduan negara yang harus diamalkan oleh semua rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana perpaduan dapat menyatukan masyarakat yang berbilang bangsa dalam satu negara.\nBersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan, pada hari ini, Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menganjurkan Forum Sejarah Kemerdekaan yang bertajuk \u201cMengimbau Sejarah Kemerdekaan Negara\u201d. Forum yang diadakan secara dalam talian boleh ditonton secara langsung menerusi Facebook dan YouTube Gerakan Pembela Ummah \u2013 UMMAH.\nForum ini menampilkan empat panel jemputan, iaitu Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Dato\u2019 Haji Mahamad Naser Disa; Profesor Undang-undang Perlembagaan di Kuliyah Undang-Undang, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Emeritus Dato\u2019 Dr. Teo Kok Seong; Felo Utama di Institut Kajian Etnik (KITA) dan Dr. Balanchandran Gopal Krishnan; Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) Menteri Besar Terengganu.\nSesi forum dimulakan oleh Prof. Dato\u2019 Haji Mahamad Naser Disa yang memerihalkan berkaitan dengan Rukun Negara dalam konteks kemerdekaan. Menurut beliau, Rukun Negara yang sedia ada perlu diamalkan dan dihayati oleh semua rakyat Malaysia dan bukannya sekadar dibaca.\nPematuhan prinsip Rukun Negara amat penting kerana perkara ini merupakan teras untuk negara mencapai kemerdekaan. Selain itu, perkara yang perlu diberikan perhatian ialah prinsip keluhuran perlembagaan, iaitu rakyat mestilah menumpahkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan menghormati perkara yang telah termaktub dalam perlembagaan.\nDr. Balachandran mengakui bahawa penghayatan terhadap sejarah kemerdekaan negara sangat penting bagi memperkasakan perpaduan nasional dan kestabilan negara. Hal ini demikian kerana tahap perpaduan nasional masyarakat Malaysia masih berada pada tahap yang belum boleh dibanggakan.\nBeliau juga menyeru agar semua rakyat belajar untuk menikmati kemerdekaan sebenar. Keadilan menjadi tonggak utama untuk rakyat menikmati kemakmuran. Beliau turut mengingatkan rakyat agar melakukan perkara yang betul dan bukan perkara yang popular tetapi salah.\nJangan sesekali menjadikan kebencian kepada sesuatu kaum itu menyebabkan berlakunya ketidakadilan. Jangan jadikan bangsa sebagai akidah perjuangan sebaliknya kita mestilah mendaulatkan undang-undang.\nDr. Teo Kok Seong pula berpendapat, dasar solidariti antara kaum sangat penting dalam sebuah etnik bagi mencapai kemerdekaan dalam masyarakat majmuk. Perjanjian etnik merupakan asas untuk mengurus perpaduan. Namun sayangnya, kontrak sosial ini menjadi pertikaian oleh sesetengah pihak.\nMaka itu, kontrak sosial perlu diimbas bukan sahaja pada hari ulang tahun kemerdekaan, sebaliknya pada setiap masa dari satu generasi ke generasi akan datang.\nSelanjutnya, forum yang dipengerusikan oleh Mohd Faizzuddin Mohd Zai ini beralih kepada panel jemputan keempat, iaitu Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan bagi membicarakan kepentingan generasi sekarang menghayati sejarah kemerdekaan negara.\nProf. Datuk Seri Awang menyatakan bahawa erti kemerdekaan perlu dihayati dalam semua sektor termasuklah sektor pentadbiran dan pendidikan.\nPemahaman terhadap erti kemerdekaan bukan sekadar mengibarkan jalur gemilang dan melaungkan \u201cmerdeka\u201d semata-mata, malah rakyat perlu membina acuan pemikiran yang seiring dengan kemerdekaan yang dikecapi.\nDalam pada itu, Prof. Datuk Seri Dr. Awang juga menyarankan agar kita perlu mengambil nilai positif daripada setiap bangsa dan tamadun serta janganlah meremehkan sejarah. Sentimen perkauman yang terlalu beremosi perlu dielakkan dan angkatlah nilai bersama sebagai kekuatan rakyat Malaysia supaya kita dapat menghayati kemerdekaan sebagai nikmat bersama.\nForum yang bersiaran langsung hampir tiga jam ini mendapat kerjasama daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti UMMAH Peringkat Negeri, Pertubuhan Cakna Rakyat Malaysia, Pertubuhan Muafakat Belia Islam Malaysia, MyHawa, Irsyad Care, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Yayasan Amal Malaysia, Persatuan Ulama\u2019 Malaysia, Pertubuhan Ilmuan Malaysia (Ilmuan) dan Majlis Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM)." "Menyanggah Sanggahan Lim Kit Siang tentang Penguatkuasaan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTerdapat kekeliruan fakta dan pendapat dalam pernyataan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Johor, YB Tuan Lim Kit Siang tentang isu penggunaan bahasa Melayu (yang disiarkan menerusi sebuah media secara dalam talian pada 29 Mei 2022).\nSokongan dan jaminan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dato\u2019 Seri Mohd. Zuki Ali tentang penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi perlu dilihat dalam konteks pematuhan penjawat awam kepada dasar dan undang-undang negara. Penegasan KSN bermaksud bahawa semua penjawat awam, selaras dengan aku janji untuk mematuhi dasar dan undang-undang negara, mesti melaksanakan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi. YB Tuan Lim Kit Siang perlu merujuk Perkara 152(6) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi pentadbiran kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.\nSelama ini, ada penjawat awam termasuklah di peringkat atasan yang agak lalai memenuhi amanah itu sehingga banyak mesyuarat berlangsung dalam bahasa Inggeris. Demikian juga bahasa dalam sebahagian dokumen rasmi kerajaan. Program Audit Bahasa Melayu yang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan Dewan Bahasa dan Pustaka sejak tahun 2013 mengesahkan masalah ketidakpatuhan sejumlah jabatan dan agensi kerajaan dalam penggunaan bahasa Melayu untuk urusan rasmi.\nData 76 peratus jabatan dan agensi yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam urusan rasmi seperti yang diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu baru-baru ini menjadi satu lagi bukti. Sesudah negara Merdeka 65 tahun, keadaan sebegitu tidak patut dibiarkan berterusan. Maka ucapan dan pernyataan KSN untuk membetulkan keadaan itu menepati peranan beliau sebagai ketua pentadbiran awam. Beliau boleh didakwa sebagai tidak amanah dan tidak cekap jika tidak memastikan dasar dan undang-undang negara terlaksana.\nSoal hukuman tidak berbangkit jika penjawat awam mematuhi dasar dan undang-undang negara. Bagi penjawat awam yang ingkar, apakah pilihan lain yang dapat dicadangkan oleh YB Tuan Lim Kit Siang selain tindakan tatatertib? Sebagai penjawat awam yang pernah mengetuai sebuah agensi kerajaan, saya amat maklum betapa sulitnya sesuatu tindakan tatatertib dapat diambil kerana begitu banyak tatacara dan birokrasi yang perlu dilalui.\nTentang arahan Tan Sri Rafidah Aziz agar komunikasi di Kementerian Perdagangan Antarabangsa yang pernah dipimpinnya menggunakan bahasa Inggeris, perkara itu jelas bertentangan dengan Perkara 152(6) Perlembagaan Persekutuan meskipun beliau berhujah mendapat kelulusan Jemaah Menteri. Jemaah Menteri sendiri tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara. Jika badan eksekutif negara sendiri tidak akur kepada undang-undang tertinggi negara, kepada siapakah dapat diharapkan perkara itu dipatuhi? Inilah antara inti sari hasrat dan keputusan Perdana Menteri yang disokong oleh KSN tentang usaha meningkatkan martabat bahasa Melayu.\nPendapat lain yang perlu dibetulkan adalah bahawa bahasa Melayu bukan sahaja untuk tujuan perpaduan kebangsaan malahan ada tujuan lain yang sama pentingnya, iaitu untuk menjadi alat komunikasi jentera pentadbiran negara. Itulah semangat dalam Perkara 152(6) Perlembagaan Persekutuan. Sebagai ahli Parlimen yang menjadi badan penggubal undang-undang negara, YB Tuan Lim Kit Siang dan ahli Parlimen yang lain, termasuk Tan Sri Rafidah patut faham dengan sebaik-baiknya tentang peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan itu.\nIsu yang sering dimomokkan ialah terencatnya kemajuan negara jika penjawat awam tidak fasih berbahasa Inggeris. Yang lebih utama ialah keterampilan dan kecekapan pengurusan serta adanya fikiran yang tinggi dan kreatif dalam kalangan penjawat awam. Mahir berbahasa Inggeris tanpa adanya sifat kreatif dan berfikiran tinggi tidak membantu negara menjadi maju.\nSeperkara lagi, adakah penegasan kepada penggunaan bahasa Melayu untuk urusan rasmi negara bererti kerajaan mengetepikan bahasa Inggeris? Hal sebaliknya sebenarnya yang berlaku. Pejuang bahasa Melayu menyaksikan keadaan yang agak berlebihan tentang usaha kerajaan dalam bahasa Inggeris sehingga menjejaskan bahasa Melayu. Program pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), kuliah kursus sains dan teknologi dan beberapa bidang lain di IPT dalam bahasa Inggeris adalah antara contoh keprihatinan berlebihan kerajaan pada satu waktu dahulu kepada bahasa Inggeris. Apabila Perdana Menteri dan KSN sekarang menginsafi kesilapan kerajaan masa lalu, mengapakah YB Tuan Lim Kit Siang dan orang lain yang senada dengan beliau menjadi resah dan panas punggung?\nPenguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan penjawat awam dapat ditingkatkan melalui kursus dalam perkhidmatan dengan berasaskan modul bahasa Inggeris untuk kegunaan khas, seperti diplomatik dan perdagangan. Itulah yang dilakukan oleh negara-negara maju, bukan mengajarkan bahasa Inggeris untuk tujuan peragaan kehebatan berbahasa Inggeris setanding dengan penutur jatinya, tetapi untuk berjaya menggunakan bahasa Inggeris sebagai komunikasi yang berkesan dalam perundingan dan pengutaraan idea besar.\nBerdasarkan pengalaman saya semasa ditugaskan sekitar lima tahun di Republik Rakyat China, lebih 100 bahasa asing diajarkan di Beijing Foreign Studies University tetapi bahasa utama dalam bidang diplomasi, pengajian, penyiaran dan lain-lain adalah menggunakan bahasa negara, iaitu bahasa Mandarin. Keadaan yang sama diamalkan di Korea Selatan dan Jepun serta banyak negara lain.\nPerjuangan mengangkat martabat bahasa Melayu tidak sama sekali berkaitan dengan penafian akan pentingnya penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa asing lain yang penting. Adakah YB Tuan Lim Kit Siang, Tan Sri Rafidah dan yang seangkatan dengan beliau berfikir bahawa pejuang bahasa tidak menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa lain ketika berinteraksi di peringkat antarabangsa? Usah memperlekeh kemampuan pejuang bahasa.\nSaya menutup tulisan dengan menggunakan ayat yang sama yang diujarkan oleh YB Tuan Lim Kit Siang tetapi dengan seruan yang 360 darjah berlainan. Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mempunyai keberanian untuk melaksanakan dasar dan undang-undang negara, termasuk dalam soal dasar bahasa kebangsaan. Demikian juga, KSN mesti membuktikan bahawa di bawah pimpinannya, penjawat awam berlaku amanah dalam melaksanakan dasar-dasar negara, termasuklah Dasar Bahasa Kebangsaan.\n_________________________\nProfesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka dan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia." "Tarikh 3 Oktober 2021, Pembukaan Sekolah bagi Negeri Fasa Dua dan Fasa Tiga PPN\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa 3 Oktober 2021 sebagai tarikh baharu pembukaan semula sekolah bagi negeri dalam Fasa Dua dan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).\nPengumuman tersebut dibuat oleh Menteri\u00a0 Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi hantaran video dalam laman Facebook rasminya pada malam ini. Menerusi pengumuman tersebut, Dr. Radzi turut menjelaskan bahawa pembukaan sekolah masih tidak dibenarkan bagi negeri dalam Fasa Satu PPN. Bagi negeri dalam Fasa Dua, pembukaan sekolah hanya untuk kelas peperiksaan, manakala bagi negeri dalam Fasa Tiga, pembukaan penuh persekolahan adalah dibenarkan.\n\u201cIni berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN). Maka itu, kita tidak boleh menyatakan bahawa 1 September semua sekolah akan dibuka. Keselamatan murid merupakan keutamaan kerajaan. Sasaran dan hasrat kita pada awalnya, iaitu pada 1 September (untuk pembukaan sekolah), namun hal itu tertakluk pada penilaian risiko yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan MKN dengan perbincangan bersama-sama KPM,\u201d jelas Dr. Radzi.\nBeliau turut menjelaskan bahawa keadaan semasa negeri, \u00a0kadar vaksinasi dan kapasiti fasiliti kesihatan juga perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan mengenai pembukaan semula sekolah dicapai. Tambah beliau lagi, keputusan akan dibuat selewat-lewatnya seminggu sebelum tarikh pembukaan semula sekolah diumumkan.\n\u201cBagi murid Tahun Satu dan Tahun Dua yang mungkin agak ketinggalan dari segi pembacaan literasi dan numerasi, kita sediakan program pemugaran bagi membolehkan mereka menguasai tahap yang minimum,\u201d katanya ketika mengulas inisiatif bagi murid yang ketinggalan pembelajaran apabila sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan.\nPada 17 Julai lalu, KPM memaklumkan bahawa ketetapan pembukaan sekolah secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka diputuskan mulai 1 September 2021, iaitu selepas mengambil kira kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan sekolah. Walau bagaimanapun, KPM turut menegaskan bahawa penilaian risiko oleh KKM dan MKN akan diambil kira sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh tersebut.\nDalam pengumuman yang berbeza, Dr. Radzi turut memaklumkan bahawa hingga 15 Ogos 2021, sebanyak 102 352 buah peranti di bawah inisiatif Cerdik telah diagihkan kepada murid yang layak. Sementara itu, baki 47 648 buah peranti lagi dijangka akan selesai diagihkan sebelum akhir September 2021." "KPM Bentangkan Garis Panduan Baharu Pertukaran Guru dalam Masa Terdekat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 \u201cKementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah meneliti dan memperhalusi secara mendalam mengenai isu pertukaran guru yang telah berlarutan sejak sekian lama. Berdasarkan penelitian yang dibuat, satu garis panduan baharu telah disediakan bagi permohonan pertukaran guru,\u201c demikian menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi hantaran video di Facebook beliau hari ini.\nMenurut beliau, garis panduan ini akan menggantikan Surat Pekeliling Ikhtisas 1975 Panduan bagi Pertukaran Guru-guru.\n\u201cDalam garis panduan baharu ini, banyak penambahbaikan yang kita perkenalkan, antaranya ialah kita akan membenarkan permohonan pertukaran guru sepanjang tahun. Banyak lagi penambahbaikan yang akan dilaksanakan dalam konteks pertukaran guru ini yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat,\u201c ujar beliau.\nMenerusi video yang berdurasi empat minit 29 saat itu, Dr. Radzi berkata, beliau menerima banyak permohonan berkaitan dengan pertukaran guru.\nRamai yang memohon agar pertukaran 2021 diproses seiring dengan pengambilan guru baharu secara sekali beri yang telah diumumkan oleh KPM. Sememangnya itulah hasrat KPM, iaitu sebelum kita menempatkan 18 702 orang guru baharu daripada pengambilan guru secara sekali beri ini, kita akan cuba menyelesaikan sebanyak mungkin permohonan pertukaran guru bagi tahun 2021.\nNamun begitu, menurut beliau, terdapat beberapa perkara penting yang diambil kira sebelum mempertimbangkan sebarang permohonan pertukaran.\nYang pertama ialah kekosongan jawatan dan yang kedua ialah keperluan opsyen di negeri yang dipohon.\n\u201cSaya menyeru kepada guru sekalian supaya terus memberikan yang terbaik dan kita terus bersama-sama meningkatkan kualiti pendidikan di negara kita,\u201c ujar Dr. Radzi.\nKPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik." "\u201cJelaslah Saya telah Kehilangan Majoriti\u201d \u2013 Tan Sri Muhyiddin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2013 Tepat pukul 3.00 petang, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen.\nUjar Muhyiddin, beliau telah menyerahkan warkah peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan kepada Yang di-Pertuan Agong disebabkan kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.\n\u201cJelaslah saya telah kehilangan sokongan majoriti. Jadi, tidak perlulah lagi keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen. Maka itu, pada hari ini saya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh ahli Jemaah Menteri sebagaimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan,\u201d ucap Muhyiddin.\nSebagai Perdana Menteri kelapan, Muhyiddin menjawat jawatan itu \u00a0selama 17 bulan selepas dilantik pada 1 Mac 2020. Walau bagaimanapun, beliau yang merupakan Presiden Parti Bersatu dan Ahli Parlimen Pagoh menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong pada tengah hari tadi semasa menghadap Seri Paduka Baginda di Istana Negara.\nPada akhir perutusannya, Muhyiddin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh petugas barisan hadapan negara; ahli Jemaah Menteri; warga perkhidmatan awam; isteri dan ahli keluarganya; parti politik yang menyokong kepimpinannya; dan seluruh rakyat Malaysia. Muhyiddin juga mendoakan agar kesejahteraan rakyat dan negara ini dapat terus dipertahankan oleh kepimpinan baharu negara yang akan dilantik kelak." "Seri Paduka Baginda Berkenan Menerima Surat Peletakan Jawatan PM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2013 Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sebagai Perdana Menteri.\nDatuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan Istana Negara berkata, susulan peletakan jawatan ini, Seri Paduka Baginda berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.\nHal ini adalah selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.\nDalam kenyataan itu, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan \u00a0kepada Muhyiddin dan Jemaah Menteri atas khidmat bakti dan tadbir urus negara yang telah dilaksanakan di bawah Perikatan Nasional bermula 1 Mac 2020, khususnya dalam memerangi COVID-19.\n\u201cSelaku Ketua Utama Negara, Seri Paduka Baginda memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara dan juga menghormati apa-apa keputusan yang dibuat oleh Muhyiddin berteraskan keluruhan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang,\u201d ujar kenyataan itu.\nSeri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Muhyiddin di Istana Negara pada pukul 12.23 tengah hari dan perjumpaan itu berlangsung selama 30 minit. Selain peletakan jawatan Muhyiddin, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima surat peletakan jawatan seluruh Jemaah Menteri dengan serta-merta berkuat kuasa pada hari ini. Terdahulu, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; serta Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh." "\u201cAmanah Mengemudi KPM telah Dipikul Seikhlas Hati\u201c \u2013 Radzi Jidin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Mantan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menyifatkan tempoh 18 bulan beliau sebagai peneraju Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk melakukan yang terbaik demi generasi pewaris negara.\nMenurut beliau, banyak perkara tunjang di KPM yang berlarutan bertahun-tahun lamanya telah dapat diselesaikan dan sebahagiannya sedang diselesaikan.\nSelain menyelesaikan isu yang telah lama berlarutan, banyak juga penambahbaikan yang telah dan sedang dilaksanakan. Insya-Allah, sekiranya segala perancangan dan usaha yang ditinggalkan dapat diteruskan sebaik-baiknya, kita boleh melonjakkan kualiti pendidikan negara ke tahap yang jauh lebih tinggi.\nBeliau turut berkata, \u201csejujurnya, mengurus KPM pada waktu pandemik COVID-19 bukanlah sesuatu yang mudah. Tidak ada sesiapa pun antara kami di KPM atau di luar sana pernah melaluinya. Oleh sebab itu, kami amat teliti dalam membuat sebarang perancangan. Setiap keputusan dibuat berdasarkan perbincangan yang amat mendalam selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak.\u201c\nKini, dengan kadar vaksinasi yang semakin meningkat, negara hampir keluar daripada kemelut pandemik COVID-19. Tempoh persinggahan yang dizinkan Allah di KPM akhirnya tamat semalam.\n\u00a0\nMenerusi hantaran di media sosial, Dr. Radzi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan berterima kasih kepada mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin kerana telah memberikan kepercayaan kepada beliau untuk mengemudi sebuah kementerian yang memainkan peranan amat besar dalam membangunkan generasi pewaris negara.\nDr. Radzi turut berterima kasih kepada dua orang pendokong utama beliau di KPM \u2013 Ketua Setiausaha, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datin Sri Nor Zamani Abdol Hamid \u2013 atas jasa baik dan usaha gigih yang dilakukan. \u201cTerima kasih juga saya ucapkan kepada seluruh kakitangan KPM, jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah yang bertungkus-lumus memastikan segala perancangan dapat berjalan dengan baik,\u201c ujar Dr. Radzi.\nTambah beliau, \u201cuntuk guru-guru, terima kasih atas bakti dan keringat yang dicurahkan dalam tempoh sukar ini. Semua dalam kalangan kita tidak pernah melalui situasi sebegini, jadi kita sentiasa sama-sama berikhtiar untuk dapatkan penyelesaian terbaik. Masing-masing telah berusaha sehabis baik untuk memastikan anak-anak murid dapat terus belajar dalam keadaan selamat. Tidak kira sama ada secara bersemuka atau pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Apa-apa yang penting, murid terus mendapat akses kepada pendidikan.\u201c\nDr. Radzi menginsafi bahawa dirinya cuma dipinjamkan oleh Allah SWT untuk mengemudi KPM dalam tempoh yang amat sukar dan tidak pernah dilalui oleh mana-mana Menteri Pendidikan sebelum ini.\nAmanah mengemudi KPM telah saya pikul dengan seikhlas hati tanpa sekelumit niat lain selain melihat kualiti pendidikan negara dapat dilonjakkan ke peringkat yang jauh lebih tinggi." "Dato\u2019 Sri Ismail Sabri, Perdana Menteri Malaysia Kesembilan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSeri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Bera, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.\nMenerusi kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi, iaitu sebanyak 114 ahli Dewan Rakyat. Susulan itu, Seri Paduka Baginda\u00a0 berkenan menerima menghadap 114 ahli Dewan Rakyat pada 19 Ogos 2021 untuk mengesahkan kepercayaan mereka terhadap ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.\n\u201cSelaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan,\u201c menurut kenyataan media Istana Negara.\nKenyataan tersebut dikeluarkan sebaik-baik Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang berlangsung pada pukul 2.30 petang tadi berakhir pada pukul 5.00 petang. Tambah kenyataan itu lagi, Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri akan dijadualkan esok, \u00a021 Ogos 2021 (Sabtu), pukul 2.30 petang, di lstana Negara.\n\u201cDalam perbincangan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan mewasalkan kepada Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu proses pencalonan bakal Perdana Menteri baharu susulan daripada peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin pada 16 Ogos lalu. Proses ini merupakan lanjutan daripada titah Seri Paduka Baginda semasa sesi menghadap bersama-sama ketua dan wakil parti politik utama negara pada 17 Ogos 2021, iaitu kesemua 220 ahli Dewan Rakyat yang diminta untuk menyatakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh ahli Dewan Rakyat tersebut untuk menjadi Perdana Menteri menerusi surat akuan (statutory declaration). Pencalonan bakal Perdana Menteri menerusi surat akuan tersebut bertujuan untuk membantu Seri Paduka Baginda membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,\u201c memetik kenyataan itu.\nSeri Paduka Baginda turut menzahirkan pandangan dengan pelantikan Perdana Menteri ini, maka kerajaan perlu meneruskan usaha memerangi pandemik COVID-19 dengan segera demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat krisis dan ancaman pandemik ini. Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar dengan pelantikan Perdana Menteri baharu ini, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan kesemua ahli Dewan Rakyat dapat mengetepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara.\nSeri Paduka Baginda turut mengulangi pandangannya bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi akibat pandemik COVID-19. Ahli Dewan Rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Seri Paduka Baginda juga menyeru seluruh rakyat agar terus bertenang dan bersama-sama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi daripada sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera." "Memahami Konsep Patriotisme dan Kenegaraan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Program Ambang Merdeka anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meneruskan sesi kedua dengan penampilan Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr. Sivamurugan Pandian pada pukul 10.00 pagi hari ini. Program yang bertajuk \u201cPatriotisme dan Kenegaraan\u201d ini mengupas pelbagai aspek penting berkaitan dengan patriotisme dan kenegaraan, sesuai dengan situasi semasa yang berlaku di negara ini.\n\n\u201cDalam usaha menerapkan nilai patriotisme dalam warga negara Malaysia, apa-apa yang penting ialah tahap kefahaman tentang konsep patriotisme itu sendiri\u201d, ujar Profesor Dr. Sivamurugan atau lebih dikenali sebagai Prof. Siva.\nTerdapat lima konsep patriotisme yang perlu diberikan penekanan dalam diri setiap individu, iaitu berani menyatakan bahawa kita memperakukan kedaulatan negara; mempertahankan keluhuran perlembagaan; berbangga menjadi warganegara Malaysia; rela berkorban demi negara; dan sentiasa berusaha mempertahankan maruah negara.\nTambah beliau, \u201c50 tahun akan datang, kita ingin melahirkan masyarakat minda kelas pertama yang memiliki ilmu dan diselaputi dengan nilai nasionalisme yang ampuh. Situasi semasa menunjukkan kita mampu melahirkan masyarakat minda kelas pertama ini berikutan peningkatan kadar celik huruf dan literasi pelbagai ilmu di negara kita. Dalam hal ini, kita memerlukan peranan signifikan pelbagai ejen bermula daripada keluarga, rakan sebaya, institusi pendidikan, agensi kerajaan, media yang perlu memainkan peranan secara berterusan dan bukan bermusim, serta pemimpin yang menunjukkan teladan yang baik. Apa-apa yang penting, individu sendiri perlu berasa bangga untuk mempertahankan negara.\u201d\nMenjadi tanggungjawab kita bersama untuk menjunjung ketinggian negara. Akan tetapi, jujurkah kita kepada Malaysia selama ini?\nDalam program yang disiarkan melalui media sosial DBP itu, Prof. Siva berkata, \u201cmedia sosial pada hari ini sudah diarusperdanakan. Tidak dinafikan, media sosial menyatupadukan pelbagai kelompok dan masyarakat berinteraksi melalui platform ini. Akan tetapi, dalam kebebasan yang ada, kita harus menghormati nilai kenegaraan dan jati diri. Tidak ada kebebasan mutlak kerana kita terikat dengan dua dokumen keramat negara yang perlu sentiasa dijunjung, iaitu Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara.\u201d\nTambah beliau, \u201csepanjang 64 tahun kemerdekaan negara, banyak ujian getir yang telah kita lalui. Namun begitu, kita tidak seharusnya lupa akan kejayaan yang telah ditempa sepanjang tempoh ini dan lihat bagaimana negara menangani pelbagai perkara.\u201d\n\u201cTiga prinsip, iaitu faham, hormat dan terima, harus dijadikan landasan penting untuk kita terus pertahankan dalam konteks perpaduan negara. Selamat menyambut ulang tahun ke-64 kemerdekaan negara kita,\u201d ujar Prof. Siva.\nVideo Program Ambang Merdeka: Patriotisme dan Kenegaraan boleh ditonton di sini." "Sasaran Tiga Pingat Emas di Paralimpik Tokyo\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKilauan tiga pingat emas menjadi sasaran kontinjen negara pada temasya Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, Jepun yang membuka tirainya secara rasmi pada 24 Ogos hingga 5 September 2021.\nSasaran jumlah pingat emas ini ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selepas beberapa siri perbincangan dengan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) terhadap kontinjen negara pada temasya berprestij itu.\nBadan induk sukan negara itu berpendapat bahawa sebanyak 22 atlet para daripada sembilan jenis sukan yang berjaya melayakkan diri ke Paralimpik Tokyo 2020 dilihat berkemampuan untuk mencapai matlamat tersebut sekali gus mengulangi pencapaian tiga pingat emas yang dimenangi pada edisi Paralimpik Rio 2016.\nPada ketika itu, atlet olahraga para negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi mencipta sejarah baharu Malaysia sebagai pemenang pingat emas pertama di temasya Sukan Paralimpik selepas menjuarai acara 100 meter (m) kategori T36, iaitu cerebral palsy menerusi rekod baharu Paralimpik, 12.07 saat (s) yang berlangsung pada 10 September 2016.\nPada hari yang sama juga menyaksikan Mohamad Ziyad Zolkefli turut memenangi pingat emas dalam acara lontar peluru untuk kategori F20 (masalah pembelajaran) dengan balingan sejauh 16.84m sekali gus memperbaharui rekod dunia dan Paralimpik. Kegembiraan kontinjen para negara berterusan pada keesokannya apabila giliran Abdul Latif Romly pula menghadiahkan pingat emas ketiga untuk Malaysia. Yang menariknya, dia juga menjuarai acaranya, iaitu lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) dengan rekod dunia dan Paralimpik menerusi lompatan sejauh 7.60m. Pingat terakhir yang dimenangi Malaysia pada Paralimpik Rio 2016 diperoleh menerusi Siti Noor Radiah Ismail yang meraih tempat ketiga acara lompat jauh T20.\nSecara keseluruhan, tiga pingat emas dan satu gangsa merupakan pencapaian terbaik yang pernah dilakar oleh kontinjen para negara sepanjang lapan edisi Sukan Paralimpik yang disertai Malaysia sejak kali pertama mengambil bahagian di Heidelberg, Jerman pada tahun 1972.\nPada edisi kali ini, Ziyad dan Latif kekal menjadi sandaran kontinjen negara untuk merealisasikan impian berkenaan berdasarkan pencapaian beberapa tahun lalu dan prestasi semasa serta penarafan dunia mereka. Kedua-dua atlet itu tentunya bersemangat dan berkeinginan tinggi untuk menebus kekecewaan mereka yang gagal mempertahankan gelaran juara dunia apabila meraih tempat kedua pada Kejohanan Para Dunia di Dubai dua tahun lalu.\nPada Kejohanan Para Dunia di Emiriyah Arab Bersatu itu, Ziyad dikecewakan oleh bintang baharu Ukraine, Maksym Koval, manakala Latif pula tewas kepada \u201cmusuh tradisinya\u201d dari Belanda, Ranki Oberoi.\nDalam satu temu bual bersama-sama media tempatan baru-baru ini, Ziyad bersyukur kerana kekalahan itu secara tidak langsung mengingatkan dirinya agar sentiasa berusaha memperbaik diri dan tidak selesa dengan prestasi semasa jika mahu mempertahankan pingat emasnya pada Paralimpik Tokyo.\n\u201cSaya yakin tahap peningkatan saya dalam latihan sejak belakangan ini. Kalau saya tak kalah pada Kejohanan Para Dunia 2019 dahulu, mungkin saya tidak akan dapat capai prestasi sekarang. Kadang-kadang kita di atas dan kadang-kadang kita pula yang akan berada di bawah. Sekarang ada muka baharu yang lebih muda termasuk yang kalahkan saya tempoh hari. Jadi saya perlu buat yang lebih bagus daripada mereka di sana. Saya sudah 11 tahun jadi atlet, selama tempoh ini saya menghadapi perkara yang sama. Pada setiap kejohanan, saya akan letakkan diri saya untuk menang pingat emas. Prinsip saya, fokus dan nikmati pertandingan, jangan tertekan semasa kejohanan,\u201d katanya.\n\nLantaran itu, tidak hairanlah Ziyad mendedahkan keinginannya untuk membawa pulang pingat emas Paralimpik Tokyo 2020 berserta dengan rekod dunia baharu dengan memecahkan catatan lamanya sebelum berangkat ke Jepun bersama-sama kumpulan ketiga kontinjen para negara baru-baru ini.\nSelain Ziyad dan Latif, turut menjadi pertaruhan Malaysia untuk membawa pulang tiga emas ialah Bonnie Bunyau Gustin daripada sukan powerlifting, S. Suresh (memanah) serta Cheh Liek Hou. Bonnie yang dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang bersama-sama seorang lagi atlet olahraga para, Siti Noor Iasah Mohammad Ariffin, dijangka mampu menampilkan prestasi luar biasa seperti yang ditunjukkannya ketika memecahkan rekod dunia pada Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Fazza di Dubai dua bulan lalu. Jaguh dari Serian, Sarawak itu menjuarai kejohanan itu selepas melakukan Angkatan bebanan seberat 230 kilogram (kg) untuk kategori atas 72 kg.\nPencapaian tersebut merupakan kejayaan kedua berturut-turut buat Bonnie yang sebulan sebelum itu turut menjuarai Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para Dunia di Bangkok, Thailand dengan jumlah angkatan seberat 226 kg. Jika Bonnie berupaya melakukan angkatan semasa, pingat emas hampir pasti menjadi milik atlet berusia 22 tahun itu berdasarkan jumlah bebanan yang dilakukan oleh Liu Lei dari China yang memenangi pingat emas dengan berat angkatan 221 kg diikuti dengan atlet Iran, Rasool Mohsin (220 kg) dan Nnamdi Innocent (Nigeria) di tempat ketiga (210 kg) sewaktu edisi Paralimpik Rio 2016.\nPresiden MPM merangkap Ketua Rombongan (CDM) Malaysia ke Paralimpik Tokyo, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin percaya bahawa sasaran tersebut mampu dicapai meskipun persediaan kebanyakan atlet juga terkesan disebabkan penularan pandemik COVID-19 sejak tahun lalu, malah tidak mustahil sebenarnya untuk melihat atlet para negara yang berbekalkan semangat luar biasa mampu membawa pulang bonus, iaitu pingat emas keempat jika Ridzuan Puzi mencipta kejutan dengan mempertahankan kejayaannya meraih emas dalam edisi Olimpik sebelumnya. Ridzuan Puzi yang mesra dengan panggilan Dekwan tidak diletakkan dalam sasaran pemenang pingat berdasarkan faktor umurnya (33 tahun) dan pada masa yang sama perlu berentap dengan lawan yang lebih muda." "Memperkasakan Komuniti Menangani COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPemerkasaan komuniti merujuk proses membantu komuniti mengemudi hidup mereka. Melalui pemerkasaan dan pendayaupayaan, mereka mampu membuat keputusan untuk menggembleng sumber demi kemajuan dan kesejahteraan diri. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tiada perkara lain yang boleh memperkasakan hidup individu secara kukuh selain diri individu tersebut.\nKonsep memperkasakan komuniti digunakan dalam pengurusan sumber asli seperti yang dihujahkan oleh pemenang Hadiah Peringatan Nobel dalam Sains Ekonomi pada tahun 2009, Elinor Ostrom. Menurut beliau, pendayaupayaan komuniti ialah strategi untuk mengelakkan berlakunya tragedi kehausan sumber alam atau tragedy of the commons. Menurut beliau, komuniti merupakan penjaga terbaik sumber asli di lokasi masing-masing, seperti ikan, sungai, rimba, biodiversiti dan sebagainya.\nBegitu pun, cabaran pada hari ini menyaksikan komuniti berperanan besar untuk menyelamatkan kelompok komuniti sendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana dunia kini dilanda bencana kesihatan yang terburuk dalam sejarah manusia apabila wabak COVID-19 melanda dunia.\u00a0 Sehingga makalah ini ditulis, sebanyak lebih empat juta kematian dicatatkan di seluruh dunia dengan kes aktif mencecah 212 juta.\nMalaysia tidak terkecuali, malah sebelum ini Malaysia membuktikan kejayaan yang cemerlang dalam membendung penularan pandemik COVID-19 terutamanya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020. Malaysia hampir meniti keluk kumulatif mendatar pada Julai hingga Ogos 2020 apabila kes baharu harian kurang daripada 10 kes.\nNamun begitu, pada awal tahun 2021, sehingga makalah ini ditulis, kes COVID-19 di negara ini menyaksikan peningkatan yang amat membimbangkan. Kadar kematian juga meningkat dengan ketara. Melihat kepada apa-apa yang berlaku pada hari ini, usaha memerangi \u00a0jangkitan COVID-19 secara menyeluruh di seluruh negara ternyata belum sepenuhnya berhasil. Meskipun hingga 22 Ogos 2021, sebanyak 55.6 peratus atau 13 022 246 rakyat di negara ini sudah lengkap menerima vaksin COVID-19, namun rakyat seharusnya tidak alpa dan terus melaksanakan tanggungjawab untuk membantu kerajaan memutuskan penularan COVID-19.\nMaka itu, penularan COVID-19 boleh dibendung pada tahap individu dengan cara individu tersebut sendiri perlu mengawal diri mereka, keluarga, komuniti dan negara. Hal ini bererti, jika setiap komuniti mengawal dan memantau tahap kesihatan setiap anggota dalam komuniti, nescaya penularan pandemik ini akan dapat dikawal pada tahap yang minimum.\nStrategi memperkasakan komuniti ini akan menggenapi polisi membanteras COVID-19 kerajaan, iaitu polisi atas-bawah (top-down) daripada kerajaan akan disempurnakan secara bawah-atas (bottom-up) dengan kerjasama daripada unit kecil komuniti. Penyambung dua pihak ini merupakan pemerkasaan komuniti dan nyahpusat kuasa kepada komuniti untuk memantau kawasan masing-masing.\nDalam hal ini, individu akan lebih memahami masalah dan kekangan yang dihadapi berbanding dengan orang lain, lantas mereka lebih bijak untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.\nSementara itu, ketua setiap komuniti akan lebih memahami dan mengetahui dengan rapat semua isi rumah di kawasan yang diwakili. Kebaikannya ialah komuniti akan menangani situasi mereka dengan lebih cekap kerana mereka bertanggungjawab terhadap anggota mereka terutama anak-anak dan orang tua. Mereka lebih tahu penyelesaian yang menepati keperluan mereka berbanding dengan pihak yang memberikan arahan dari atas, melalui agensi pusat, kemudian disalurkan ke tahap negeri, wilayah, daerah, mukim dan kampung. Jedanya panjang dan mungkin agak lambat sampai kepada mereka yang memerlukan. Hal ini bermakna, ketua komuniti bersama-sama ketua isi rumah boleh memantau dan mengenal pasti individu yang bermasalah dan dengan pantas mengambil tindakan yang diperlukan. Dalam hal ini, komuniti diberikan kuasa untuk melaksanakan apa-apa juga tindakan yang terbaik untuk komuniti mereka kerana penyelesaian dalaman ada kalanya lebih berkesan daripada penyelesaian yang diberikan oleh individu atau orang asing dan agensi luar.\nKaedah ini juga mengurangkan kos ketirisan dan juga kos pentadbiran kerajaan. Dalam hal ini, komuniti akan berusaha sesama sendiri menyelesaikan masalah mereka dan perkara ini akan dapat mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan. Kejayaan program memperkasakan komuniti ini bergantung pada pangkalan data yang lengkap mengenai profil setiap keluarga terutamanya demografi dan kesihatan. Data ini sepatutnya dikemas kini dari semasa ke semasa. Dengan kata lain, program ini bererti cari, uji, jejaki, asingkan dan bantu, atau FTTIS (find, test, trace, isolate and support) dilaksanakan pada tahap unit yang paling mikro sama ada kampung, atau seksyen di kawasan bandar dan sebagainya. Data ini perlu dianalisis sentiasa dan diambil tindakan dengan segera.\n\nMungkin komuniti perlu bermesyuarat bagi memikirkan bagaimana untuk melaksanakan FTTIS yang lancar dan pantas, serta langkah sokongan yang perlu dilaksanakan supaya tiada individu yang tertinggal. Untuk itu, kerajaan tempatan atau negeri dan negara perlu memberikan sokongan dana dan kelengkapan perlindungan diri (PPE) yang mencukupi. Selain itu, unit komuniti tersebut perlu dibantu oleh pentadbiran daerah, negeri dan negara apabila diperlukan. Khidmat perlulah bergerak dengan pantas untuk membolehkan komuniti berfungsi dengan lebih efektif. Hal ini bermakna program ini memerlukan penyatuan semua pihak daripada ahli keluarga sehingga kerajaan.\nSemua program yang dirangka untuk memutuskan rantaian pandemik ini pastinya akan berhadapan cabaran dan rintangan. Namun begitu, semua perjalanan haruslah bermula dengan langkah yang pertama. Langkah ini mungkin kecil, tetapi satu permulaan yang besar dalam memperkasakan individu, komuniti, negeri dan negara. Sudah tiba masanya, rakyat dilatih untuk bertanggungjawab ke atas kesihatan diri sendiri, keluarga dan masyarakat kerana hingga kini belum ada tanda-tanda COVID-19 akan lenyap buat selama-lamanya dan untuk itu, kita perlu melatih diri untuk bijak hidup bersama-sama virus ini.\nPenulis ialah Ketua, Kluster Pertanian dan Sekuriti Makanan (Akademi Profesor, Malaysia); Felo Senior, IDEAS; dan Felo Penyelidik, Universiti Putra Malaysia." "Potensi E-sukan di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSering kali kita mendengar istilah e-sukan atau dalam bahasa Inggerisnya, e-sport. Industri e-sukan mula memperlihatkan perkembangannya selaras dengan kemajuan teknologi dalam industri kesukanan serta kemunculan platform komunikasi.\nSebelum ini, sukan merupakan aktiviti yang banyak melibatkan fizikal, yang dilakukan untuk tujuan keseronokan, pertandingan, kecemerlangan dan kemahiran. Sebagai contoh, apabila membicarakan mengenai sukan badminton, sudah pasti atlet yang disebutkan ialah Datuk Lee Chong Wei dan jaguh sukan berbasikal negara, Dato\u2019 Azizulhasni Awang, manakala apabila membicarakan mengenai bola sepak, sudah semestinya pasukan Harimau Malaya yang akan disebut-sebut. Sukan ini banyak melibatkan fizikal dan mental, dan kebanyakan sukan merupakan sukan berbentuk rekreasi. Situasi ini melibatkan pertemuan antara seorang pemain dengan pemain yang lain secara fizikal dan bukan secara maya. Walaupun sukan tradisional seperti ini diminati, perkembangan dalam bidang sukan tidaklah mundur malah semakin maju sejajar dengan keperluan dan keadaan.\nSeiring dengan perkembangan waktu dan arus kemodenan teknologi, maka muncul pelbagai aplikasi permainan video, pemainan telefon pintar dan permainan komputer yang dahulunya dianggap sebagai satu hobi yang disukai oleh kanak-kanak dan remaja sahaja, malah suatu ketika dahulu, aktiviti ini juga dianggap sebagai aktiviti yang merugikan dan membuang masa. Namun begitu, arus kemajuan medium permainan kini seperti permainan video, telefon pintar dan komputer banyak atau lebih dikenali sebagai e-sukan semakin mendapat perhatian khususnya dalam kalangan anak muda negara.\n\u00a0\nE-sukan didefinisikan sebagai sukan yang berasaskan permainan komputer yang dimainkan oleh pengguna seperti pemain profesional. Permainan komputer ini dimainkan dalam bentuk persaingan atau pertandingan rasmi antara pasukan yang difasilitasikan oleh sistem elektronik. Terdapat beberapa permainan video yang popular seperti genre Strategy Base Game, First Person Shooter (FPS), Multiplayer Online Battle Arena (MOBA) dan Player Unknowns Battelground (PUBG).\nE-sukan pernah mencipta satu fenomena apabila permainan League Of Legends mempunyai lebih daripada 100 juta pemain di seluruh dunia. Hal ini membuka mata masyarakat mengenai e-sukan.\nPermainan ini banyak dipertandingkan sehingga ada yang menawarkan hadiah lumayan seperti pingat dan juga wang tunai. Pertandingan sukan maya ini diterima sebagai kegiatan sukan oleh jawatan kuasa olimpik antarabangsa pada tahun 2017. E-sukan yang terdiri daripada permainan kompetitif pada peringkat profesional ini juga pernah dipertandingkan pada peringkat Sukan Asia 2018, Sukan SEA 2019 dan Sukan Olimpik 2021.\nDi Malaysia, perkembangan e-sukan agak lambat berbanding dengan negara maju yang lain. Namun begitu, sejak belakangan ini, perkembangan e-sukan mula mendapat perhatian. Malaysia mencatatkan sejarah tersendiri apabila membuka pusat e-sukan yang tersendiri yang dikenali sebagai The Pantheon yang terletak di The Square, One City USJ. Pusat e-sukan ini merupakan pusat e-sukan bertaraf lima bintang yang dilengkapi dengan 116 buah komputer berserta komponen tinggi zon realiti maya (VR), zon konsol Sony Playstation 4 (PS4) dan Sony Playstation 5 (PS5) serta simulator kereta.\nThe Pantheon menetapkan pengunjung yang dibenarkan masuk mestilah berusia 12 tahun dan ke atas serta larangan masuk buat pengunjung yang memakai pakaian seragam sekolah. Hal ini bagi memastikan e-sukan berada pada landasan yang tepat. The Pantheon mula beroperasi pada pukul 11.00 pagi hingga 12.00 tengah malam, pada setiap hari. The Pantheon juga menawarkan perkhidmatan pada harga yang berpatutan. Sebagai contohnya, pada zon komputer, pengguna perlu membayar sebanyak RM5 bagi satu jam penggunaan; zon komputer premium pula, pengguna perlu membayar RM7 bagi satu jam penggunaan; zon simulasi RM30 bagi satu jam penggunaan; zon realiti maya (VR) sebanyak RM50 bagi 30 minit penggunaan; manakala bagi zon PS4 dan PS5 adalah percuma kepada ahli yang membuat pembelian makanan dan minuman bernilai RM5 dan ke atas.\nTerdapat banyak pengiat e-sukan di Malaysia yang berjaya dan membuktikan bahawa permainan video tidak membuang masa dan mampu memberikan keuntungan jika dilakukan dengan cara yang betul. Antara penggiat e-sukan yang terkenal ialah Soloz atau dikenali sebagai Maharaja Soloz dalam kalangan pengikut permainan strim langsung beliau. Nama sebenar beliau ialah Mohd Faris Zakaria, berusia 27 tahun. Gelaran Maharaja Soloz diberikan kerana populariti beliau sebagai pemain strim langsung yang mempunyai lebih 2.0 juta pengikut menerusi aplikasi Facebook Gamming. Bukan itu sahaja, Soloz juga mempunyai lebih sejuta orang pengikut di Instagram dan juga YouTube miliknya, iaitu Soloz Club.\nSoloz mencipta rekod apabila beliau berjaya memecahkan rekod strim langsung tertinggi melebihi 100 ribu penonton, pada 23 Julai 2020. Beliau juga merupakan penerima anugerah Malaysia Book of Records dan memecahkan rekod peribadi beliau yang dicatatkan sebelumnya. Soloz juga digelar \u201cMost Watched Creator Malaysia\u201d oleh Facebook Gaming.\nSelain Soloz, terdapat juga beberapa pemain e-sukan strim langsung lain yang menjadikan e-sukan sebagai kerjaya mereka, seperti Fuad Alili yang dikenali sebagai Fredo dan juga Imran Rosli yang dikenali sebagai Vokey, yang masing-masing mempunyai lebih daripada 1.0 juta pengikut di Facebook Gaming. Selain itu, Muhammad Dhiya Ulhaq, berusia 16 tahun juga antara pemain strim langsung yang dikenali di bawah naugan Team Secret. Walaupun usianya masih muda, namun beliau merupakan pemain yang mewakili Malaysia dalam pertandingan PUBG Mobile pada peringkat antarabangsa. Pencapaian keempat-empat orang pemain strim langsung ini membuktikan bahawa arena e-sukan bukanlah arena yang boleh diperlekehkan. Sukan ini mampu mengharumkan nama negara dengan kemenangan pemain handal ini pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.\nPada peringat universiti pula, e-sukan \u00a0menjadi tarikan pelajar untuk menceburi bidang tersebut. Hal ini dapat dilihat dengan wujudnya kelab e-sukan di beberapa buah universiti seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Di UiTM, kelab e-sukan baru sahaja ditubuhkan pada tahun 2020. Kelab e-sukan di UiTM mempunyai ahli yang agak aktif di Malaysia seperti mahasiswa Muhammad Nabil Japri daripada pasukan Vendette. Hal ini dibuktikan apabila beliau dan pasukannya telah berjaya menjuarai pusingan kelayakan Cyberathete Collegiate Mobile Legends. Hingga kini, kelab e-sukan di UiTM mempunyai lebih daripada 70 orang ahli. UiTM telah membuktikan kehebatanya dalam bidang e-sukan apabila berjaya menganjurkan kejohanan Celcom X-Pax e-sukan Kampus (KEK) yang diadakan di kampus Puncak Alam. Penganjuran ini merupakan kerjasama dengan Media Prima Digital yang kini dikenali sebagai Rev Media Group.\nTimbalan Pengarah 1 (Acara, Majlis dan Pameran), Hab Media Kreatif dan Teknologi (CMThub) UiTM, Dr. Masrur Mohd Khir menjelaskan bahawa hab yang disediakan seperti kemudahan teknologi kepada pelajar untuk mencungkil bakat dalam e-sukan akan mendedahkan pelajar kepada profesion baharu dalam bidang sukan dan membuka peluang pekerjaan dalam bidang ini.\nTernyata perkembangan e-sukan di Malaysia semakin menampakkan sinarnya dan merubah tanggapan masyarakat mengenai pemain dalam talian yang mula mendapat tempat dalam kalangan anak muda. Apabila kerjaya e-sukan melahirkan banyak pemain yang berbakat, suatu hari nanti pastinya nama negara akan dipandang tinggi di mata dunia.\nPenulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta Felo, Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK), UiTM." "Yang Gila Siapa?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMudah melontarkan kata \u201cgila\u201c kepada orang yang hendak mengangkat bahasa negara ke mercu maruahnya yang hak. Soalnya, siapakah yang gila? Gilakah Perdana Menteri kerana hendak memperkukuh kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa negara seperti ketetapan Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan undang-undang lain? Gilakah beliau kerana menetapkan bahasa Melayu untuk urusan kerajaan di luar negara? Jika demikian, banyak pemimpin dunia yang gila kerana menggunakan bahasa kebangsaan mereka di forum antarabangsa.\nJaminan Ketua Setiausaha Negara untuk memastikan bahasa Melayu dilaksanakan dalam pentadbiran negara pun adakah tindakan gila? Jika begitu, gilalah penggubal Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi pentadbiran kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam, seperti dalam Perkara 152(6).\nMenurut lunas Islam, apabila orang yang didakwa itu tidak seperti yang didakwa, maka dakwaan itu berbalik kepada pihak yang mendakwa. Perdana Menteri pasti tidak gila kerana tindakan beliau memenuhi ungkapan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putera, iaitu \u201cBahasa kebangsaan ibarat roh pada jasad\u201c. Orang yang berusaha mengisi dasar negara, termasuklah dasar bahasa kebangsaan pasti bukan orang gila.\nYang banyak wujud ialah orang yang tergila-gilakan kebudayaan Barat, termasuklah bahasanya. Soalnya, orang di dunia Barat sendiri tidak tergila-gilakan bahasa Inggeris. Orang Jerman, orang Perancis, orang Belanda, orang Finland, orang Sepanyol dan bangsa Barat yang lain tetap siuman meraikan bahasa mereka dalam mengejar kemajuan. Orang di Asia Timur, iaitu orang China, orang Korea dan orang Jepun pun begitu. Orang Rusia, orang Turki, orang Iran pun demikian. Tidak pula semua mereka itu dikatakan gila.\nKegilaan memuja bahasa asing yang dianggap satu-satunya bahasa dunia itulah sikap gila. Pejuang bahasa tidak pernah gila kerana perjuangan itu tidak pernah menjadikan mereka memusuhi mana-mana bahasa lain. Setiap bahasa ada faedahnya tetapi mengutamakan bahasa negara menjadi kewajaran. Maka, berhentilah daripada mendakwa orang yang memperjuangkan bahasa negara gila kerana khuatir pendakwa itulah yang sebenarnya \u201cgila bahasa dan budaya asing\u201c." "Semangat Patriotisme, Pedulikah Anak Muda?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu, Kelantan \u2013 Dato\u2019 A. Aziz Deraman, yang merupakan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) menyuarakan ketidakselesaannya berikutan kurangnya pelibatan dan penyertaan pelbagai kaum dalam beberapa kegiatan dan upacara sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan Malaysia saban tahun.\n\u201cKita hanya dapat menyaksikan penyertaan pelbagai kaum semasa hari perbarisan pada tanggal 31 Ogos setiap tahun. Hal ini demikian kerana adanya pelibatan dalam kalangan kanak-kanak atau pelajar sekolah. Kenapa senario ini terjadi? Apakah kemerdekaan tidak dihayati secara menyeluruh ataupun semangat patriotisme bangsa Malaysia itu belum sampai ke tahap yang tinggi?\u201d\nBeliau berkata demikian ketika diundang sebagai panel dalam program \u201cWacana Peradaban: Semangat Patriotisme, Pedulikah Anak Muda?\u201c anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) dengan kerjasama PERADABAN yang berlangsung pada 25 Ogos 2021.\nPatriotisme tidak semestinya difahami sebagai hak milik orang Melayu dan etnik peribumi serumpun di Sabah dan Sarawak sahaja. Semangat patriotisme seharusnya menjadi milik bersama merentasi kaum, etnik dan suku bangsa, tegas beliau.\nMenurut Dato\u2019 Aziz lagi, minda bebas golongan generasi muda semacam mahu segala-galanya menyamai Barat, bebas dalam semua perkara termasuklah menerima ideologi LGBT (lesbian, gay, biseksual, transjantina), pluralisme, liberalisme, hedonisme dan seumpamanya. Itukah makna merdeka buat mereka?\nSoal beliau lagi, tidak terfikirkah kita bahawa nilai-nilai sedemikian akan menyebabkan akal budi bangsa boleh terperosok ke jurang bahaya yang akan menimbus nilai-nilai murni bangsa sendiri yang dilandasi agama dan budaya? Maka tidakkah boleh pihak berkuasa mengambil tindakan membendungnya berdasarkan penguatkuasaan undang-undang dengan tegas agar tuntutan agama, nilai-nilai kebudayaan kebangsaan dan erti kemerdekaan itu kekal dipertahankan?\nDato\u2019 Aziz mengingatkan generasi baharu\u00a0agar\u00a0dapat mereformasi akal budi dan penghayatan makna kemerdekaan dan patriotisme secara meluas dan mendalam.\nPermainan politik yang berlebihan dan perpecahan sesama sendiri hanya akan membuka pintu besar kepada strategi halus musuh. Tidak mustahil sesebuah negara boleh terjajah semula. Algojo politik yang tidak dapat mengawal nafsu dan emosi yang membuak mahukan kekuasaan sanggup berbuat apa-apa sahaja untuk memperoleh kuasa atau menumbangkan pemerintah. Hal ini boleh terjadi di mana-mana jua termasuklah Malaysia.\nBeliau turut menyeru agar nikmat kemerdekaan seharusnya benar-benar dihayati dengan rasa penuh kesyukuran. Pengisian sambutan hari kemerdekaan atau hari kebangsaan yang diadakan pada setiap tahun patut meresapi jiwa nurani bangsa.\nDengan semangat patriotisme, sesuatu bangsa akan memungkinkan penciptaan kegemilangan bangsa dalam semua bidang termasuklah dalam gerakan intelektualisme, daya cipta, sains dan teknologi apabila budaya kreativiti dan inovasi menjadi sebahagian daripada nilai transformasi bangsa Malaysia.\nSekiranya penghayatan kemerdekaan itu menipis, bermakna akal budi bangsa masih berada di bawah pengaruh imperialisme budaya (cultural imperialism) dan penjajahan minda asing.\nDato\u2019 Aziz menekankan bahawa dalam aspek sosiobudaya, para orientalis mengatakan ada tiga cara jika mahu meruntuhkan sesebuah peradaban bangsa, \u00a0iaitu runtuhkan institusi kekeluargaan, runtuhkan sistem pendidikan dan jatuhkan pemimpin yang berwibawa. Musuh kepada bangsa Malaysia akan selalu mengintai peluang melemahkan tiga kekuatan yang ada ini, selain melemahkan pemerintahan dan pentadbiran negara, merosakkan jalan politik dan ekonomi atau memusnahkan kesejahteraan sosial dan budaya.\nKemerdekaan itu adalah untuk Malaysia dan semua lapisan rakyatnya, terutamanya generasi muda. Kita mengharapkan anak-anak muda Malaysia peduli dan prihatin terhadap isu-isu patriotisme.\nRakyat dan generasi muda Malaysia harus membalas pengorbanan generasi terdahulu dengan berbakti kepada negara agar Malaysia tetap aman sejahtera, makmur dan harmoni.\nDengan prinsip \u201cKesatuan dalam Kepelbagaian\u201d yakni sifat pelbagai kaum atau etnik, agama, kepercayaan, budaya, adat resam, bahasa dan dialek, bahkan berbeza fahaman pegangan politik sekalipun, rakyat Malaysia mesti bersama-sama mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara.\nSesi wacana peradaban yang dipengerusikan oleh Mohd Azizi Zainudin (Mr. Librarian), Pustakawan Kanan PPAK boleh ditonton sepenuhnya melalui Facebook Perpustakaan Awam Kelantan dan saluran media sosial DBP." "Mendengari Suara Gaza\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah dengan kerjasama Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan program Forum Suara Gaza pada 25 Ogos 2021. Program ini disiarkan secara langsung melalui platform Facebook USIM TV dan juga Jendela DBP pada pukul 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.\nProgram ini dianjurkan bertujuan untuk memberikan kesedaran terhadap penonton tentang betapa perit dan susahnya kehidupan seseorang yang bergelar rakyat Palestin. Di samping itu, para panelis juga menyentuh mengenai isu yang berlaku antara Israel dengan Palestin melalui penceritaan secara terperinci tentang sejarah lampau bermula daripada peristiwa tercetusnya peperangan antara dua buah negara ini.\n\nForum ini dimulakan dengan ucapan pengacara TV Alhijrah, Farrah Adeeba Mohamed Ashraf yang bertindak sebagai moderator. Farrah Adeeba seterusnya membuat perincian dan memberikan penerangan tentang diskriminasi dan prejudis yang telah disalahertikan oleh rejim Zionis. Beliau turut mempertikaikan alasan mereka untuk menjajah Palestin adalah sangat tidak masuk akal oleh sebab mereka menyatakan bahawa \u201ctanah Palestin bukan dijajah, tetapi merupakan tanah tradisi mereka yang diduduki oleh nabi-nabi mereka seperti Nabi Sulaiman.\u201d\nAhli panel yang diundang khas bagi menyerikan forum ini ialah Profesor Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor yang merupakan Pensyarah dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau memulakan program ini dengan menyatakan bahawa dakwaan Israel yang mengatakan rampasan tanah Palestin itu adalah wajar dilakukan oleh mereka adalah rapuh. Hujah demi hujah telah diberikan oleh beliau dengan menjelaskan bahawa peristiwa yang terjadi pada masa kini dapat dikaitkan dengan kisah silam yang terdahulu.\nDalam kitab mereka sendiri, Nabi Musa a.s. telah menyatakan golongan yang tidak berperikemanusiaan inilah yang membunuh para nabi.\n\u201cApatah lagi kalau kita merujuk al-Quran, kita dapat lihat kaum ini telah melanggar pelbagai bentuk arahan, perintah dan amanah yang telah diletakkan atas diri mereka. Ini menunjukkan betapa angkuhnya mereka dan mereka tidak malu untuk membuat satu resolusi untuk mempunyai negara mereka tersendiri,\u201d ujar Dr. Hafidzi.\nForum ini diteruskan oleh ahli panel yang kedua, Dr. Mohd Soberi Awang, iaitu Pensyarah USIM. Beliau memulakan komentar beliau dengan memetik ayat al-Quran tentang dakwaan Yahudi yang menyatakan bahawa mereka berhak untuk mendapatkan tanah Palestin. Menurut Dr. Mohd Soberi, isu Palestin ini ialah isu yang berkaitan dengan nyawa manusia itu sendiri dan tidak ada kaitan sama sekali dengan isu agama.\nTindakan mereka membunuh orang Palestin tanpa menerima tindak balas merupakan tindakan bacul. Mereka melakukan apa-apa sahaja bentuk keganasan. Tekanan terhadap orang Islam merupakan suatu tindakan yang bacul!\nProgram tersebut mendapat sambutan yang baik daripada khalayak dan telah disokong oleh warga siber atas usaha yang dilakukan oleh pihak DBP dan USIM. Program ini diakhiri dengan persembahan oleh penyanyi, SISO, dengan lagunya yang berjudul Balada Gadis Kecil.\nDalam pada itu, pihak DBP dengan kerjasama USIM turut mengambil kesempatan untuk membuat penjualan buku dan 10 peratus daripada jumlah pembelian buku tersebut akan disumbangkan ke Tabung Palestin bagi membantu meneruskan perjuangan Palestin.\nIkuti siaran forum ini di Facebook USIM TV dan Jendela DBP." "Perpaduan Tunjang Keharmonian Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala\u00a0 Lumpur \u2013 Bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan, Akademi Dr Har telah menganjurkan forum Bicara Merdeka: Saya Anak Malaysia Siri 4 dengan tajuk \u201cBersatu Teguh, Bercerai Roboh\u201d pada 26 Ogos 2021 (khamis) pukul 9.30 malam. Forum yang diadakan secara dalam talian boleh ditonton secara langsung menerusi platform Facebook dan YouTube Akademi Dr Har.\nForum ini menampilkan dua panel jemputan, iaitu Dato\u2019 Goh Hin San, Presiden Persatuan Kebudayaan Han Malaysia (HAN) dan Ahli Lembaga Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Syed Umar Sadique Syed Ab Rahman (Marc Sadique) selaku pempengaruh dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Manakala Profesor Datuk Dr. Harlina Halizah Hj Siraj selaku moderator forum.\nTujuan forum diadakan adalah untuk mengupas tentang perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Sesi forum dimulakan oleh Dato\u2019 Goh yang menghuraikan tentang tiga asas perpaduan untuk menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, iaitu melalui pengamalan, penguatkuasaan dan pelaksanaan prinsip Rukun Negara, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kefahaman tentang pemaknaan yang terdapat pada Jalur Gemilang sebagai bendera negara.\nBeliau turut menekankan bahawa konteks perpaduan perlu diamalkan, dihayati, disemai dan dipupuk dalam kehidupan seharian oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira budaya, bangsa dan agama. Bahkan semua rakyat Malaysia wajib mempelajari dan memahami sejarah negara demi mengukuhkan jati diri dan perpaduan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa. \u201cManusia yang tidak menghormati dan tidak menghargai sejarah pasti akan tidak menghormati dan tidak menghargai negara,\u201d jelas Dato\u2019 Goh.\n\u201cPerpaduan harus dicungkil dari sanubari setiap individu. Antara kaedah terbaik bagi mewujudkan dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat di Malaysia adalah menerusi platform kebudayaan dan sukan seperti tradisi pantun, sukan bola sepak, badminton dan berbasikal\u201d ujar Dato\u2019 Goh.\nMenurut Dato\u2019 Goh, budaya negara luar yang baik boleh diambil sebagai teladan, namun jati diri rakyat Malaysia mesti dipelihara dan dipertahankan untuk kelangsungan identiti generasi masa depan.\nMarc Sadique pula berkata, dua teras utama yang mempengaruhi perpaduan rakyat di Malaysia adalah sifat bertanggungjawab terhadap negara dan toleransi antara kaum. Jika kedua-dua sifat ini tidak dipraktikkan dan dijadikan sebagai rutin kehidupan, maka perpaduan dan keharmonian antara pelbagai kaum yang dikecapi selama ini akan bercerai dan roboh jika masing-masing hanya mementingkan diri sendiri dalam semua perkara.\nBeliau juga menyeru agar semua rakyat Malaysia belajar untuk menghayati erti kemerdekaan yang sebenar. Saling hormat-menghormati antara kaum menjadi tonggak utama untuk rakyat menikmati kemakmuran.\n\u201cGenerasi muda harus menimba ilmu dan pengalaman daripada generasi yang lebih tua sebagai pedoman, bimbingan dan panduan bagi membina dan mengukuhkan perpaduan. Tanpa pengorbanan, ilmu dan pengalaman generasi yang terdahulu sebagai bimbingan, generasi muda pada masa kini pasti akan tersasar jauh dan tersilap jalan untuk mencapai matlamat perpaduan yang diimpikan,\u201d tutur Marc Sadique." "Kabinet Baharu: PM Umum Pelantikan 31 Menteri, 38 Timbalan Menteri. Datuk Dr. Radzi Jidin Kekal Menteri Kanan Pendidikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini mengumumkan pembentukan kabinet beliau yang menyaksikan pelantikan sebanyak 31 menteri termasuk empat menteri kanan dan 38 timbalan menteri, dengan kebanyakan anggota lama dalam kerajaan sebelum ini dikekalkan. Antara yang dikekalkan termasuklah Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Radzi Jidin.\nSelain beliau, Menteri Kanan yang turut dilantik semula terdiri daripada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memegang portfolio Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Datuk Seri Fadillah Yusof yang menerajui\u00a0 Kementerian Kerja Raya.\nDalam pengumuman itu, Perdana Menteri tidak mengumumkan pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri. Tambahnya, barisan kabinet yang dibentuk pada hari ini merupakan pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama-sama rakyat yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.\n\u201cKabinet ini perlu bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik COVID-19, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik,\u201c ucap beliau yang disiarkan secara langsung dari pejabatnya di Putrajaya pagi ini.\nTambah Perdana Menteri, dengan mengambil kira hakikat bahawa beliau menerima kerajaan ini dalam keadaan seadanya, maka pembentukan kabinet ini merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan keluarga Malaysia lebih daripada segala-galanya.\nMaka itu, beliau akan memastikan barisan kabinet akan komited menjayakan agenda negara melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.\n\u201cBarisan kabinet ini dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan,\u00a0 memudah cara perniagaan, dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur,\u201c katanya,\nSehubungan dengan itu, kata beliau, bagi mendepani cabaran semasa, kabinet perlu berorientasikan hasil yang berlandaskan tiga prinsip, iaitu peka dengan keperluan semasa, bertanggungjawab dan amanah, dan mengembalikan semula keyakinan rakyat. Tegas Perdana Menteri, beliau akan memastikan barisan kabinet yang akan mengangkat sumpah pada Isnin, 30 Ogos 2021, akan menekankan budaya kerja berprestasi tinggi.\n\u201cSetiap kementerian perlu membuat perancangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan. Untuk itu, setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama,\u201c kata Perdana Menteri lagi.\nSENARAI PENUH ANGGOTA KABINET\nMenteri Kanan \u2013 Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri: YB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali\nTimbalan Menteri: YB Datuk Lim Ban Hong\nMenteri Kanan \u2013 Menteri Pertahanan: YB Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein\nTimbalan Menteri: YB Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz\nMenteri Kewangan: YB Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz\nTimbalan Menteri I: YB Mohd Shahar Abdullah\nTimbalan Menteri II: YB Tuan Yamani Hafez Musa\nMenteri Kanan \u2013 Menteri Kerja Raya: YB Datuk Seri Fadillah Yusof\nTimbalan Menteri: YB Datuk Arthur Joseph Kurup\nMenteri Kanan \u2013 Menteri Pendidikan: YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin\nTimbalan Menteri I: YB Senator Dato\u2019 Dr. Mah Hang Soon\nTimbalan Menteri II: YB Datuk Mohamad Alamin\nMenteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi): YB Datuk Seri Mustapa Mohamed\nTimbalan Menteri: YB Eddin Syazlee Shith\nMenteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas): YB Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad\nTimbalan Menteri: YB Datuk Mastura Tan Sri Dato\u2019 Mohd Yazid\nMenteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang): YB Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar\nTimbalan Menteri: YB Datuk Wira Hajjah Mas Ermieyati Samsuddin\nMenteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama): YB Senator Tuan Idris Ahmad\nTimbalan Menteri: YB Datuk Haji Ahmad Marzuk Shaary\nMenteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak): YB Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili\nTimbalan Menteri: YB Dato\u2019 Hajah Hanifah Hajar Taib\nMenteri Pengangkutan: YB Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong\nTimbalan Menteri: YB Dato\u2019 Henry Sum Agong\nMenteri Alam Sekitar: YB Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man\nTimbalan Menteri: YB Dato\u2019 Dr. Mansor Othman\nMenteri Sumber Manusia: YB Datuk Seri Saravanan Murugan\nTimbalan Menteri: YB Datuk Haji Awang Hashim\nMenteri Wilayah Persekutuan: YB Datuk Seri Shahidan Kassim\nTimbalan Menteri: YB Datuk Seri Jalaluddin Alias\nMenteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat: YB Datuk Seri Rina Harun\nTimbalan Menteri: YB Dato\u2019 Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff\nMenteri Pengajian Tinggi: YB Dato\u2019 Dr. Noraini Ahmad\nTimbalan Menteri: YB Senator Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad\nMenteri Tenaga dan Sumber Asli: YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan\nTimbalan Menteri: YB Datuk Ali Anak Biju\nMenteri Dalam Negeri: YB Datuk Seri Hamzah Zainuddin\nTimbalan Menteri I: YB Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said\nTimbalan Menteri II: YB Jonathan Yassin\nMenteri Kesihatan: YB Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar\nTimbalan Menteri I: YB Dato\u2019 Dr Noor Azmi Ghazali\nTimbalan Menteri II: YB Datuk Aaron Ago Dagang\nMenteri Pertanian dan Industri Makanan: YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee\nTimbalan Menteri I: YB Datuk Seri Haji Ahmad Hamzah\nTimbalan Menteri II: YB Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh\nMenteri Pembangunan Luar Bandar: YB Datuk Seri Mahdzir Khalid\nTimbalan Menteri I: YB Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad\nTimbalan Menteri II: YB Datuk Hasbi Habibollah\nMenteri Luar Negeri: YB Dato\u2019 Saifuddin Abdullah\nTimbalan Menteri: YB Kamarudin Jaffar\nMenteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna: YB Datuk Alexander Nanta Linggi\nTimbalan Menteri: YB Dato\u2019 Rosol Wahid\nMenteri Komunikasi dan Multimedia: YB Tan Sri Annuar Musa\nTimbalan Menteri: YB Datuk Zahidi Zainul Abidin\nMenteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan: YB Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican\nTimbalan Menteri: YB Datuk Sri Ismail Abdul Mutalib\nMenteri Sains, Teknologi dan Inovasi: YB Datuk Seri Dr. Adham Baba\nTimbalan Menteri: YB Datuk Amzad Mohamed @ Hashim\nMenteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi: YB Tan Sri Noh Omar\nTimbalan Menteri: YB Tuan Muslimin Yahaya\nMenteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi: YB Datuk Dr Zuraida Kamaruddin\nTimbalan Menteri I: YB Datuk Seri Wee Jeck Seng\nTimbalan Menteri II: YB Willie Mongin\nMenteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan: YB Datuk Seri Nancy Shukri\nTimbalan Menteri: YB Datuk Seri Dr Santhara Kumar Ramanaidu\nMenteri Perpaduan Negara: YB Datuk Halimah Mohamed Sadique\nTimbalan Menteri: YB Senator Tuan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal\nMenteri Belia dan Sukan: YB Datuk Seri Ahmad Faizal Datuk Azumu\nTimbalan Menteri: YB Senator Datuk Seri Ti Lian Ker" "Sembang Santai Sekolah Ninja\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan rancangan ekslusif Luar Jendela: Sekolah Ninja pada 28 Ogos 2021, pukul 9.00 malam, dengan penampilan lima orang ahli panel dari Jepun. Program berkonsep bual bicara santai yang bersiaran secara langsung dari Tokyo, Jepun ini menunjukkan gelagat para ahli panel yang begitu hebat dan fasih bertutur dalam bahasa Melayu. Di samping itu, para panelis turut menceritakan perjalanan pembelajaran mereka di Jepun.\n\u201cSaya sangat seronok ketika berada di dalam kelas Bahasa Jepun kerana cerita yang disampaikan dalam buku sangat menarik minat pembaca. Tambahan pula, guru Bahasa Jepun bijak menarik minat para pelajar,\u201d ujar Ryotaro Yuzawa atau lebih dikenali sebagai Razak.\nTambah Ryotaro Yuzawa, \u201csemasa berada di universiti, saya amat berminat untuk mempelajari bahasa asing. Sebagai contohnya, bahasa Melayu dan bahasa Perancis. Hal ini dikatakan demikian kerana saya bukan sekadar memahami bahasa tersebut malahan turut memahami budaya yang diamalkan oleh penutur asalnya.\u201d\n\u201cBagaimana boleh timbul minat untuk mempelajari bahasa Melayu?\u201d\nDalam program yang disiarkan melalui media sosial DBP tersebut, ahli panel Minamo Niizuma atau lebih dikenali sebagai Mirzanah berkata, \u201csaya berminat dengan negara Asia Tenggara dan kenalan saya turut menetap di Malaysia. Malaysia merupakan sebuah negara yang baik dan perkara ini merupakan sebab mengapa saya ingin mempelajari bahasa Melayu.\u201d\n\nDalam program bual bicara santai tersebut, ahli panel bernama Oga Morito atau lebih dikenali sebagai Osman menceritakan pengalaman beliau sebagai seorang pelajar universiti. Katanya, \u201cbelajar di universiti mempunyai lebih banyak kebebasan berbanding ketika berada di peringkat sekolah menengah kerana jadualnya boleh dipilih oleh pelajar itu sendiri.\u201d\n\u201cDi samping itu, ibu bapa bersetuju untuk membenarkan anak mereka bekerja sambilan. Hal ini dikatakan demikian kerana pekerjaan sambilan mampu untuk mengembangkan kemampuan dan kemahiran untuk hidup bermasyarakat,\u201d ujar Shui Tsuda atau dikenali sebagai Syalinah.\nSelain itu, ahli panel Kota Nakai atau dikenali sebagai Kamal berkata, \u201cibu bapa saya bersetuju untuk melakukan pekerjaan sambilan. Akan tetapi, sebagai seorang pelajar, kita hendaklah belajar bersungguh-sungguh dan lebih mengutamakan pembelajaran berbanding dengan pekerjaan sambilan tersebut.\u201d\nDemikian antara perkongsian beberapa orang pelajar Jepun yang berusaha mendalami dan menuturkan bahasa kebangsaan negara kita dengan sebaik mungkin. Tonton video penuh program Luar Jendela: Sekolah Ninja di sini." "Sukan Teras Perpaduan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan program ambang merdeka dengan tajuk \u201cDemi Lencana di Dada\u201d pada 29 Ogos 2021 (Ahad) pukul 2.30 petang. Forum yang diadakan secara dalam talian boleh ditonton secara langsung menerusi platform media sosial DBP seperti Facebook, Twitter dan JendelaDBP.\nForum ini menampilkan dua panel jemputan, iaitu Datuk Lee Chong Wei, bekas atlet badminton negara serta Dato\u2019 Mirnawan Datuk Haji Nawawi, bekas atlet hoki negara. Manakala Rusdi A. Rahman dari DBP selaku moderator program.\nTujuan program diadakan adalah untuk mengupas tentang tanggungjawab membawa nama dan maruah negara dalam arena sukan di peringkat antarabangsa. Program dimulakan oleh Datuk Lee yang menghuraikan tentang empat teras utama untuk menjadi seorang atlet sukan yang berjaya, iaitu melalui disiplin diri yang tinggi, hormat dan patuh pada setiap arahan jurulatih, sanggup berkorban masa dan tenaga serta sentiasa bersabar menempuh segala ujian yang hadir.\nSukan mampu menyatukan seluruh rakyat Malaysia menjadi sebuah keluarga dengan satu identiti dan jati diri. Melalui sukan juga, segala jurang perbezaan dapat diketepikan demi mencapai satu impian dan matlamat yang sama.\nDatuk Lee turut menekankan bahawa sukan merupakan antara platform terbaik bagi membina dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa. Sukan sebagai teras perpaduan negara perlu diamalkan, dihayati, disemai dan dipupuk dalam kehidupan oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira budaya, bangsa dan agama.\nMenurut Dato\u2019 Mirnawan pula, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Tidak ada kejayaan yang boleh dicapai melalui jalan pintas serta tanpa sebarang pengorbanan.\nMenurut beliau lagi, atlet perlu sentiasa muhasabah diri, memotivasikan diri serta menetapkan matlamat dan sasaran kejayaan yang ingin diperoleh. Bahkan atlet perlu mengorbankan masa lapang bersama-sama keluarga dan rakan-rakan, masa rehat dan perlu melalui fasa kesakitan dan kepenatan demi menjadi atlet yang berkualiti tinggi dan bertaraf dunia.\nMenyarung lencana jalur gemilang di dada merupakan satu amanah memikul maruah negara. Melalui sukan, seorang atlet berupaya menyatukan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dengan matlamat yang sama, iaitu menjulang dan memartabatkan nama dan maruah negara Malaysia dalam kejohanan sukan yang diceburi." "Perginya Datuk Abdul Adzis Abas\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abdul Adzis Abas menghembuskan nafas yang terakhir pada pukul 1.20 pagi, 30 Ogos 2021 (Isnin), di Hospital Pakar Al Islam, Kampung Baru, Kuala Lumpur.\nAllahyarham Datuk Abdul Adzis merupakan Ketua Pengarah DBP ke-11 yang berkhidmat dari tahun 2016 hingga 2018.\nWarga DBP merakamkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham Datuk Abdul Adzis Abas. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Amin." "Keprihatinan Mahasiswa terhadap Isu Kenegaraan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJohor \u2013 Keprihatinan mahasiswa terhadap isu kenegaraan amat penting bagi melahirkan golongan anak muda yang mempunyai nilai patriotik. Baru-baru ini, Persatuan Identiti Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Hindu UTM telah menganjurkan program diskusi yang bertajuk \u201cPrihatinkah Mahasiswa?\u201d yang dilaksanakan secara dalam talian di media sosial melalui aplikasi Facebook Identiti Mahasiswa UTM.\nSesi perkongsian yang berlangsung selama dua jam ini telah menampilkan tiga orang panel, iaitu Dr. Kamaruzaman Yussof, mantan Pensyarah Akademi Tamadun Islam UTM, Lim Wei Wen, mantan Setiausaha Student Union Task Force UTM, Lydia Karuna Sangeeth, mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Hindu UTM serta moderator, Muhammad Faiz Abd Ghaffar. Antara topik utama yang menjadi isu perbincangan termasuklah sejarah mencapai kemerdekaan, erti patriotisme dalam kalangan anak muda serta pendekatan anak muda menjiwai semangat patriotik.\nPelbagai isu yang melibatkan kemerdekaan dari sudut pandangan anak muda turut dikupas dalam program ini. Para panel juga berdiskusi tentang peranan generasi muda agar cakna terhadap isu semasa memandangkan mereka merupakan masa depan sesebuah negara. Pada sesi terakhir, para peserta telah diberikan peluang untuk mengajukan soalan kepada para panel yang diundang. Maklum balas yang diterima semasa sesi pertanyaan ini secara tidak langsung menunjukkan para pelajar di menara gading juga mempunyai semangat mencintai tanah air yang tinggi. Keprihatinan mahasiswa dalam menyemai semangat patriotik ini dapat memastikan mereka turut menyumbang sebagai kumpulan pemikir dalam pembangunan negara.\nBersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan, setiap individu khususnya anak muda digalakkan agar menzahirkan penghargaan terhadap perjuangan tokoh kemerdekaan. Semangat patriotik yang menebal juga wajar disemai dalam sanubari setiap individu supaya terus mempertahankan martabat negara bangsa." "Menghayati Politik Perjuangan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Program ambang merdeka yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diteruskan lagi pada 30 Ogos 2021 dengan tajuk \u201cPolitik Perjuangan\u201d bersama-sama Yang Berbahagia Datuk Wira Haji Othman Muhamad, mantan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka dan Encik Abdul Ghani Abu selaku moderator dari DBP. Sesi bual bicara yang berlangsung selama satu jam ini diadakan secara dalam talian dan boleh ditonton secara langsung menerusi platform media sosial, iaitu Facebook DBP.\nObjektif sesi bual bicara pada kali ini adalah untuk menyuntik semangat menyayangi bumi Malaysia melalui perkongsian kisah politik perjuangan yang telah dilakukan oleh pemimpin terdahulu demi mendapatkan kemerdekaan negara. Antaranya termasuklah pengorbanan Siti Rahmah Kassim dan rakyat jelata yang sanggup menggadaikan harta benda seperti barang kemas yang dimiliki untuk mengumpulkan dana bagi membolehkan rundingan kemerdekaan dibuat. Ketulenan semangat perjuangan yang dipamerkan oleh mereka menunjukkan sokongan rakyat yang tidak berbelah bahagi kepada pemimpin pada ketika itu.\nDalam sesi bual bicara tersebut, Datuk Wira Haji Othman Muhamad menyifatkan Tun Abdul Ghafar Baba sebagai seorang daripada tokoh pejuang politik yang telah banyak menabur jasa kepada negara termasuklah dalam membina perpaduan bukan sahaja dalam kalangan rakyat tetapi dalam parti politik. Menurutnya, Tun Abdul Ghafar Baba akan bercakap tentang perpaduan dalam satu nada tanpa mengira kaum Melayu, Cina dan India. Dengan kata lain, Tun Abdul Ghafar Baba mahu semua rakyat hidup dalam keadaan aman dan damai sebagai sebuah masyarakat walaupun berbeza agama dan kepercayaan.\nSelain itu, Datuk Wira Haji Othman Muhamad turut menyentuh isu hubungan antara pemimpin dengan rakyat. Beliau menyatakan bahawa:\nPemimpin perlu turun padang melihat keadaan rakyat bagi mengetahui masalah yang dihadapi oleh mereka. Alhamdulillah, beberapa orang menteri yang sudah mengangkat sumpah semula sudah bertemu dengan rakyat.\nDalam pada itu, Datuk Wira Haji Othman Muhamad juga berpendapat bahawa pemimpin yang mengangkat sumpah semula tersebut bukanlah pemimpin \u201crecycle\u201d sebaliknya mereka diangkat semula kerana menonjolkan kebolehan sebagai seorang pemimpin. Malahan, rakyat seharusnya bersama-sama pemimpin demi merealisasikan agenda pembangunan negara.\nGenerasi muda kini perlu kembali kepada perjuangan asal datuk moyang kita dahulu dan jangan berhenti meneruskan perjuangan tersebut. Kembalikan nilai asas perjuangan yang menjadikan Malaysia aman dan damai. Ketulenan semangat memperjuangkan kedaulatan negara akan membuahkan hasil atau kemaslahatan kepada masyarakat Malaysia.\nSebagai mengakhiri sesi bual bicara itu, Datuk Wira Haji Othman Muhamad mengingatkan anak muda agar terus memperingati Hari Kebangsaan, di samping memberikan sokongan kepada pihak kerajaan, lebih-lebih lagi dalam menghadapi situasi pandemik COVID-19 yang masih belum reda. Beliau berharap agar anak muda mencontohi dan terus menghayati perjuangan tokoh kemerdekaan kerana merekalah pencetus untuk mendepani cabaran pada masa akan datang. Selamat Hari Kebangsaan Ke-64!" "Memerdekakan Negara daripada Jenayah Rasuah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerihal negara sedang dilanda jenayah rasuah bukan rahsia lagi. Kedudukan Malaysia merosot ke tangga\u00a0 57 dari tangga 51, menurut Corruption Perceptions Index (Bernama, 28 Januari, 2021). Laporan TI-M.theedgemarjets.com melaporkan bahawa 71 peratus rakyat Malaysia\u00a0 menganggap bahawa rasuah ialah isu besar negara.\nSelain itu, beberapa petunjuk lain turut menggambarkan parahnya kesan jenayah rasuah di negara kita. Produktiviti rakyat Malaysia tercicir jauh berbanding dengan produktiviti negara jiran, iaitu Singapura. Pada tahun 2020, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita Malaysia ialah USD 10 1921, sementara Singapura mencapai USD 58 474. Merosotnya pelaburan asing di negara ini turut menjadi petunjuk kesan jenayah rasuah kerana hilangnya keyakinan pelabur kepada tadbir urus negara. Satu petunjuk lain ialah kian meningkatnya pengaliran kepakaran ke luar negara dengan sasaran utamanya Singapura sebanyak 57 peratus. Demikian laporan World Bank.\nJenayah rasuah mengakibatkan leluasanya ekonomi hitam, iaitu gerakan ekonomi bawah tanah yang merupakan kegiatan ekonomi haram yang tidak dinilai sumbangannya kepada KDNK. Menurut Tun Mohd. Hanif Omar, jenayah rasuah menjadi pendorong utama leluasanya ekonomi hitam (Sinar Harian, 4 Februari 2021). Kajian Dr. Ahmed Razman Latiff dari Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan bahawa nilai ekonomi hitam di negara ini dianggarkan RM300 bilion, menyamai 21 peratus KDNK negara.\nDalam menangani jenayah rasuah,\u00a0 Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mesti diberi wibawa sepenuh-penuhnya dalam melaksanakan amanah membanteras rasuah tanpa gangguan dan campur tangan politik atau pihak lain, termasuk pengumpan rasuah. Pernyataan Perdana Menteri (ketika itu), Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin bahawa beliau tidak akan tunduk kepada tekanan untuk mempengaruhi badan kehakiman bagi menggugurkan kes tokoh tertentu yang berkaitan dengan kes rasuah mesti dijadikan dasar kerajaan secara menyeluruh, bukan pernyataan individu atau pendirian peribadi.\nSama ada disedari atau tidak, negara sudah mengalami satu sistem perubahan nilai daripada masyarakat yang patuh kepada agama dan nilai-nilai positif kepada sikap cinta dunia (hubuddunia). Hal itu menjadikan wujudnya golongan yang bersifat tamak haloba dan tidak cukup dengan rezeki yang ada tetapi mencari-cari peluang rasuah untuk kehidupan yang mewah tanpa memperhitungkan soal keberkatan. Halal haram, hak dan batil serta dosa dan pahala tidak menjadi pertimbangan kerana sifat serakah untuk meraih kekayaan. Gaya hidup tidak sepadan dengan jawatan dan pendapatan sebenar.\nDisebabkan perubahan sistem nilai itu , rasuah seakan-akan sudah diterima sebagai satu \u201cnilai senyap\u201c dalam kehidupan kini. Bahkan ada pihak yang seakan-akan mengiktiraf rasuah sebagai sebahagian unsur dalam birokrasi. Sikap berasa jijik dan benci kepada rasuah bertukar menjadi sikap pengesah dan berkompromi dengan rasuah. Jenayah rasuah seolah-olah disahkan oleh satu sistem masyarakat yang bobrok dan jelek.\nHukuman yang dijatuhkan kepada penjenayah rasuah turut memperlihatkan kepincangan. Diperlukan hukuman yang lebih tegas yang dapat memberikan pendidikan yang berkesan dan memberikan keinsafan kepada pemberi dan penerima rasuah. \u00a0Hukuman yang dapat dibayar dengan mudah menyebabkan rasuah itu berlaku berkali-kali dan\u00a0 masalah rasuah tidak selesai. Pengamal rasuah tidak berasa aib tetapi seolah-olah bangga dengan jenayah yang dilakukan. Rasuah sebagai nilai senyap yang diterima seolah-olah disahkan oleh pihak berkuasa atau pemimpin tertentu yang berkuasa.\nBagi membanteras jenayah rasuah, peranan dan kesungguhan ahli parlimen sebagai wakil suara rakyat sangat penting untuk bersama-sama membincangkan perkara itu di dalam dewan rakyat. Gunakanlah dewan rakyat sebagai tempat untuk menyelesaikan masalah rasuah, dengan menggubal undang-undang dan memutuskan langkah yang berkesan untuk membendung rasuah.\nAmat malang bahawa jenayah rasuah turut menggambarkan pegangan politik orang Melayu Islam. Demi kuasa, jenayah rasuah dijadikan alat untuk mengumpan pengundi dalam pemilihan jawatan dalam parti dan juga dalam pilihan raya. Jelas bahawa hal itu berpunca daripada ketaasuban kepada teori politik Barat, yang berlunaskaan usaha \u201cmemperoleh kuasa dan mempertahankan kuasa\u201c, sehingga lupa untuk membina negara yang diberkati Allah SWT.\u00a0 Gagasan pentingnya negara yang sejahtera dan diampuni Allah (baldatun tayyibatun warabbun ghafur) diabaikan.\nPengendali media, institusi agama dan pertubuhan perlu menjalankan kempen besar-besaran agar seluruh lapisan masyarakat menilai rasuah sebagai satu dosa besar, jenayah dan najis. Media perlu membentuk pendapat awam yang menolak rasuah sebagai sesuatu yang keji dalam masyarakat. Pemimpin semua agama patut berpadu fikiran dan usaha dalam memerangi jenayah rasuah. Tidak ada agama yang menerima rasuah sebagai perkara yang boleh diterima atau disahkan. Asas ini jauh lebih penting daripada perdebatan soal akidah dan amalan beragama dalam agama yang berlainan. Penyatuan fikrah dapat dibentuk dalam kalangan penganut agama yang berlainan melalui isu seperti pembanterasan rasuah.\nJenayah rasuah berkaitan juga dengan masalah penghayatan dan kepatuhan kepada nilai agama yang sudah hampir luntur dan menyebabkan masyarakat menjadi kabur tentang yang benar dan salah.\u00a0 Kebanyakan orang Islam setiap hari membaca al-Quran tetapi seakan-akan tidak menemukan ayat 188 dalam surah al-Baqarah yang amat jelas memaparkan amaran keras daripada Allah terhadap orang yang terlibat dengan rasuah, sama ada penerima atau pemberi rasuah. Pendekatan pendidikan Islam dalam pendidikan formal dan tidak formal jelas memerlukan reformasi. Qiraah dan hafazan ternyata tidak cukup untuk melahirkan masyarakat yang peka kepada nilai dan amalan hidup beragama yang luhur. Dalam sistem pendidikan negara pula, pendekatan \u201cmemanusiakan\u201c manusia mesti dipertegas, terutama melalui penilaian berasaskan sekolah (PBS) yang beransur-ansur mengurangkan keutamaan nilai peperiksaan sebagai ukuran kecemerlangan pendidikan seseorang.\nBersempena dengan sambutan kemerdekaan negara, semua warganegara mesti bertekad untuk bersama-sama memerangi jenayah rasuah. Merdekakan negara kita daripada jenayah rasuah yang menjadi satu daripada ibu jenayah negara. Saling membantulah semua warganegara ke arah kebajikan dan membanteras kemungkaran, termasuk jenayah rasuah. Tanggungjawab itu perlu digalas terutamanya di peringkat pemimpin negara, pemimpin institusi, khasnya dalam perkhidmatan awam, dan pemimpin semua lembaga sosial, ekonomi dan politik. Usah menunggu satu abad untuk memerdekakan negara daripada kemungkaran.\n\u00a0\n(Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan ialah Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka)" "Bangsa Hebat dan Berjaya dengan Amalan Membaca\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSimposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia telah berlangsung dengan jayanya pada 22 Mei hingga 24 Mei 2022 di Dewan Bahasa dan Pustaka, anjuran Pejabat Perdana Menteri, Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Tamadun dan Alam Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, dengan kerjasama Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, telah menampilkan tokoh pelbagai bidang dari dalam dan juga luar negara untuk menyampaikan cadangan dan saranan bagi memperkasakan dan memperluas penggunaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.\nSimposium yang bertemakan \u201cMengangkat Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN dan Antarabangsa\u201d mempunyai kaitan dengan satu daripada inisiatif pelaksanaan Dekad Bahasa Kebangsaan (2020-2030) ke-empat, iaitu mengantarabangsakan bahasa Melayu sebagai satu daripada bahasa utama di ASEAN, dan menjadikan Malaysia sebagai pusat persuratan Melayu terulung di dunia. Pada kesempatan ini, penulis ingin mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dan semoga segala cadangan yang dilontarkan akan dapat direalisasikan. Penulis percaya kemeriahan simposium ini tidak akan pudar bahangnya, malah semakin mekar dari sehari ke sehari.\nKepetahan berbicara dengan idea yang bernas dan logik misalnya dalam simposium yang disebutkan tadi akan menimbulkan rasa kagum kepada pembicara tersebut. Namun begitu, daripada manalah hadirnya pengetahuan tersebut jika tidak daripada aktiviti membaca dan menelaah buku. Dengan membaca, seseorang itu akan dapat mengetahui pelbagai ilmu yang bermanfaat yang umpama jambatan ilmu dan berasa seronok untuk berkongsi atau bertukar-tukar maklumat dengan pembaca lain. Aktiviti ini sangat menarik kerana bukan sahaja dapat menjalinkan hubungan erat tetapi akan dapat meningkatkan kecerdasan emosi dan juga intelektual para pembaca. Selain itu, aktiviti ini akan melahirkan generasi yang berfikiran kritis, kreatif dan berinovatif yang mampu memberikan kesan kepada pembangunan intelek negara.\nHebatnya sesebuah negara itu apabila mempunyai masyarakatnya gemar mencari gali ilmu. Lupakan sebentar tentang konotasi negatif yang mengaitkan Malaysia dengan masyarakatnya yang hanya membaca tidak melebihi tiga jam seminggu atau yang tidak berminat membeli buku. Kita perlu fokus kepada anjakan paradigma serta ke arah yang lebih memotivasikan masyarakat. Transformasi kaedah bacaan secara digital dan mudah akses sebenarnya banyak membantu mengubah tabiat membaca masyarakat Malaysia.\nData statistik peminjaman bahan bacaan secara digital, tidak kira dalam bahasa Melayu ataupun bahasa asing menerusi u-Pustaka, Perpustakaan\u00a0 Negara Malaysia (PNM) menunjukkan peningkatan dua kali ganda jumlahnya pada 2020, iaitu sebanyak 367 306 peminjaman berbanding dengan tahun sebelumnya. Hal ini bermakna, kempen \u201cSila Duduk di Rumah dan Baca Buku\u201d oleh PNM ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah berjaya.\nSelain itu, kajian firma Picodi juga menyatakan bahawa Malaysia adalah antara negara tertinggi yang progresif membeli buku secara dalam talian. Hal ini seharusnya diraikan tanpa perlu memberikan konotasi negatif atas keterujaan positif rakyat Malaysia. Hal ini kerana kita perlu mengakui bahawa mengubah sesuatu yang sudah menjadi kelaziman masyarakat itu adalah sukar. Memang betul, kadang kala kita perlu mengambil pendekatan mendesak untuk ke arah yang lebih baik, namun percayalah perkara ini akan lentur mengikut peredaran masa seperti alah bisa, tegal biasa.\nBagi meraikan dan memotivasikan masyarakat yang mencintai ilmu dengan membaca, terdapat pelbagai inisiatif daripada pihak kerajaan dan swasta. Baru-baru ini, pemberian Baucar Buku Semarak Membaca 2022 yang bernilai RM10 setiap satu sudah boleh ditebus mulai 1 April hingga 31 Ogos 2022 di bawah Program Semarak Seni Budaya oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui PNM dan rakan-rakan industri buku Malaysia. Perkara ini dilihat sebagai satu dorongan yang sangat baik dan memberikan peluang kepada masyarakat memiliki buku yang digemari untuk dibaca di kedai-kedai buku terpilih seluruh negara.\nSelain itu, bagi melestarikan bangsa yang hebat dan berjaya dengan membaca, program berskala besar diadakan seperti Pelancaran Program Nilam dan Program Jom Baca Bersama 10 Minit pada 22 April 2022 di seluruh negara secara serentak sebagai tanda komitmen semua pihak dan simbolik kepada rangsangan budaya terhadap kepentingan membaca dalam kitaran hidup. Kempen galakan membaca saban tahun juga dilihat sebagai suatu usaha tekal oleh pihak terlibat bagi memastikan masyarakat tidak berenggang dengan medium bacaan serta melahirkan masyarakat yang kaya dengan gedung maklumat.\nProgram jangka panjang yang dirancang bagi merealisasikan pelaksanaan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2021-2030 yang bermatlamat untuk \u00a0menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara membaca bukanlah untuk mengubah secara drastik sikap masyarakat dengan timbunan bahan bacaan kerana hal ini akan cenderung kepada pesimistik. Justeru itu, amalan sikit-sikit lama-lama jadi bukit, iaitu biar sedikit namun bertambah dan konsisten menjadi fokus untuk menyeimbangkan tanggapan tersebut serta menghidupkan keseronokan dengan aktiviti yang tidak membebankan dan menjurus kepada motivasi membaca.\nSeterusnya, bagi menyahut slogan #MALAYSIAMEMBACA, kita juga perlu menyemarakkan lagi kelangsungan industri buku. Bagi menyemai masyarakat berilmu yang bertaraf dunia, sokongan daripada industri buku sangat diperlukan untuk menerbitkan ilmu baharu dan juga terbitan buku terjemahan dari luar negara ke dalam bahasa Melayu agar masyarakat tidak ketinggalan memperoleh ilmu yang pelbagai. Oleh itu, bantuan dana penerbitan sama ada daripada pihak kerajaan ataupun swasta disalurkan kepada pemain industri buku untuk membantu meringankan kos penerbitan.\nDalam situasi menang-menang ini, tidak ada pihak yang akan menanggung kerugian kerana semua lapisan masyarakat akan dapat menerima tebaran ilmu tersebut. Kita perlu tanamkan dalam diri bahawa bangsa berjaya ialah bangsa yang membaca. Oleh itu, rasa waswas perlu dinyahkan dan mengambil tindakan berani dengan membuat pelaburan yang tinggi terhadap industri buku. Penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang diadakan pada 3 Jun hingga 12 Jun 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur merupakan antara platform yang perlu disokong oleh masyarakat Malaysia.\nAktiviti lain yang lazim dan perlu dilakukan adalah seperti program bedah buku, bicara ilmu, wacana dan debat mengenai karya agung atau karya terkenal akan mampu mencaknakan minda masyarakat. Secara tidak langsung, masyarakat akan berusaha meneroka ilmu dan mencabar pemikiran aras tinggi masing-masing. Hal ini suatu petanda yang baik dalam memupuk dan membugarkan minda agresif masyarakat untuk mencintai dunia pembacaan sekali gus membentuk kematangan dalam melontarkan sesuatu idea apabila diminta.\nPenulis melihat pengaruh media sosial sebagai medan penerangan yang perlu digunakan dengan semaksimumnya untuk menyebarluaskan aktiviti galakan membaca dalam kalangan masyarakat. Kini, telefon pintar seakan \u201cpendamping terbaik\u201d kepada masyarakat. Oleh itu, pihak yang terlibat perlu mengambil peluang untuk menguar-uarkan aktiviti yang telah dirancang kepada masyarakat. Namun demikian, aktiviti tersebut mestilah sesuatu yang bercorak kreatif dan interaktif seiring dengan kecanggihan teknologi agar masyarakat bukan sahaja fokus kepada aktiviti membaca bahkan mendapat pengetahuan tentang perkembangan teknologi.\nBangsa hebat dan berjaya dengan amalan membaca tidak akan menjadi kenyataan jika masyarakat Malaysia tidak sama-sama berganding bahu mencapai objektif tersebut. Masyarakat yang terpimpin akan mudah menyedari dan memberikan tindak balas positif terhadap sesuatu perancangan. Janganlah bersikap acuh tak acuh terhadap setiap usaha hebat yang dilakukan oleh pelbagai pihak kerana sudah tentu perkara yang dilakukan akan memberikan kemaslahatan kepada semua. Oleh itu, jadikanlah amalan membaca sebagai gaya hidup kerana anda semua ialah bangsa yang hebat dan berjaya. Tanpa ilmu hati akan mati.\n\u00a0\n\u00a0\nProfesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad \u2212 Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia." "Menteri Pendidikan Komited Memperkasakan Pendidikan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datuk Dr. Radzi Jidin telah mengadakan perjumpaan bersama-sama pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selepas majlis mengangkat sumpah di Istana Negara petang tadi. Perjumpaan tersebut telah dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan 1, Yang Berhormat Dato\u2019 Dr. Mah Hang Soon, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof serta Ketua Pengarah Pendidikan, Datin Sri Hajah Nor Zamani Abdol Hamid.\nMenurut Dr. Radzi Jidin melalui kenyataannya di laman sosial Facebook beliau, banyak perkara yang telah dicapai dalam usaha menambah baik pendidikan negara dalam tempoh 18 bulan berada di KPM sebelum ini.\nKami akan terus mengikhtiarkan yang terbaik dan berusaha gigih untuk memperkasakan ekosistem pendidikan negara serta menjunjung amanah yang diberikan dengan sehabis baik. Nothing beats hard work!" "Membebaskan Negara daripada Rasuah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Pada hari ini, kita menyambut 64 tahun kemerdekaan negara dengan serba kekangan tatkala negara dilanda pandemik COVID-19. Ketika sebahagian besar rakyat khususnya anggota barisan hadapan bergadai nyawa bergelut menghadapi pandemik, ada juga segelintir yang masih rakus menggadai maruah demi memuaskan nafsu haloba sehingga menjejaskan kestabilan negara.\nMenurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato\u2019 Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil, cabaran dan tanggungjawab kita pada hari ini pada hakikatnya bukan sekadar memutuskan rantaian penularan COVID-19, malahan kita juga perlu berdepan dengan cabaran serta tanggungjawab memutuskan rantaian rasuah yang gelombangnya semakin kuat melanda.\nTambah beliau, \u201csebagai rakyat yang prihatin dan cinta akan negara ini, kita perlu bersama-sama memenangi perjuangan melawan COVID-19 dan juga memenangi perjuangan membebaskan negara daripada ancaman rasuah.\u201c\nRasuah bukan sahaja jenayah yang keji, malahan umpama wabak yang membarah. Seperti pandemik COVID-19 yang melanda, jika dibiarkan, rasuah juga bukan setakat memberikan kesan buruk kepada peribadi, keluarga dan organisasi malahan juga akan mengancam keselamatan dan meruntuhkan negara yang tercinta ini.\nMenurutnya, pihak kerajaan termasuk SPRM seperti anggota barisan hadapan melawan Covid-19 yang turut bertungkus lumus mencari mekanisme terbaik serta lebih efektif dalam menangani jenayah rasuah yang menular di negara ini. Antara mekanisme terbaik yang boleh menjadi vaksin kepada gejala rasuah adalah melalui Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) sepertimana Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2009 Siri 1 No. 1 Tahun 2011.\nCeIO yang dilatih di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) menjadi vaksin harapan kerajaan dan SPRM untuk memutuskan rantaian rasuah dengan membudayakan integriti dan antirasuah dalam masyarakat. Malah, CeIO boleh berperanan sebagai kunci komunikasi kepada SPRM dalam menghubungkan dan menyebarluaskan mesej antirasuah khususnya di organisasi masing-masing. Peranan CeIO amat penting kepada SPRM apatah lagi modul latihan yang diberikan kepada CeIO di MACA tidak jauh berbeza daripada latihan dan kompetensi yang diberikan kepada pegawai SPRM sendiri.\nJusteru, beliau menegaskan kepentingan CeIO untuk dinaungi, dipantau dan dikawal selia keberkesanan serta tingkah laku secara berterusan khususnya di lapangan supaya tidak mencemari profesion integriti dan amanah yang dipertanggungjawabkan.\nMenurutnya, penubuhan serta peranan Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) Malaysia pula amat dialu-alukan dalam membantu kerajaan dan SPRM menunaikan amanah ini. Sehubungan dengan itu, beliau amat mengharapkan ACeIO terus berkerjasama rapat dengan SPRM khususnya dalam tadbir urus, pengukuhan jati diri dan pembangunan kompetensi CeIO secara berterusan.\nMengambil semangat kemerdekaan, Dato\u2019 Sri Shamshun Baharin menaruh harapan tinggi untuk semua pihak termasuk CeIO dan ACeIO agar dapat bersama-sama kerajaan dalam pemulihan segera negara daripada kesan pandemik yang melanda. Beliau juga berharap semua pihak khususnya ACeIO untuk bersama-sama SPRM berjuang membebaskan negara daripada gejala rasuah.\nBeliau yang akan menamatkan perkhidmatan sebagai pegawai awam pada 1 September 2021 menyeru seluruh Keluarga Malaysia supaya lebih prihatin untuk hidup harmoni dengan jati diri yang kukuh serta mengamalkan dan membudayakan nilai murni serta integriti secara berterusan. Beliau bertekad dan mengajak semua pihak khususnya CeIO dan ACeIO untuk bersama-sama SPRM meneruskan perjuangan memerdekakan negara daripada ancaman rasuah demi untuk melihat Malaysia tercinta ini kekal berdaulat dan diurus tadbir dengan penuh berintegriti." "Patriotisme Benteng Pertahanan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2012 Program Wacana Hari Kebangsaan anjuran Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersempena dengan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-64 telah diadakan pada pukul 10.00 pagi hari ini.\n\nProgram yang bertemakan \u201cPatriotisme Benteng Pertahanan\u201d ini telah disempurnakan oleh Pensyarah Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan UPNM, Profesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Wan Hashim Wan Teh dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan. Sementara itu, Profesor Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw dari UPNM bertindak sebagai moderator program yang mengupas beberapa aspek penting berkaitan dengan patriotisme dan kecintaan terhadap tanah air ini.\n\u201cKemerdekaan merupakan ejen sosialisasi yang terbaik bagi memantapkan perasaan cinta akan tanah air dalam jiwa rakyat Malaysia. Apa-apa yang penting, kita hendaklah terus bersemangat mempertahankan kemerdekaan negara. Tanpa kemerdekaan, kita tidak mempunyai nilai kehidupan,\u201d ujar Dr. Awang Sariyan memulakan bicara.\nKemerdekaan sangat penting dan patriotisme merupakan suatu tunggak bagi menjamin pertahanan dan ketahanan negara.\nDalam program tersebut, beliau turut menyatakan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam memperkukuh kemerdekaan negara. Menurut Dr. Awang Sariyan, \u201cterdapat empat fungsi bahasa sebagai jiwa bangsa, iaitu asas pembentukan konsep diri manusia; asas pengilmuan manusia; perantaraan perhubungan sosial; dan perantaraan pewarisan tamadun.\u201d\nAl-Ghazali dalam kitab Ihya\u2019 Ulumuddin telah menjelaskan mengenai keperluan menguasai bahasa sebagai ilmu permulaan untuk seseorang memperoleh ilmu dan memperkembangkan ilmu yang diperolehi mereka. Demikian juga yang disebut oleh Hamka dan juga sarjana barat.\nTambah beliau, \u201cdalam hal tersebut, patriotisme juga penting dalam konteks menguasai bahasa untuk ilmu. Andai kata seseorang individu tidak mempunyai ilmu yang kuat, maka patriotisme individu tersebut juga tidak begitu kuat dan tiada perkara yang dapat dibanggakan untuk menunjukkan diri sebagai seorang warganegara yang merdeka.\u201d\n\nDalam program berdurasi satu jam 33 minit 49 saat yang disiarkan melalui media sosial DBP dan Facebook Pejabat Pendaftar UPNM tersebut, Dr. Wan Hashim berkata, \u201csejarah merupakan jati diri seseorang individu. Malaysia telah memasuki tahun ke-64 merdeka dan ini merupakan suatu tempoh yang pendek jika dibandingkan dengan tempoh negara kita dijajah oleh empat kuasa besar dunia.\u201d\nAntara Nasionalisme dengan Patriotisme\nBerdasarkan forum tersebut, dapat disimpulkan bahawa nasionalisme merupakan semangat sedar akan nilai kebangsaan dan nasionalisme merupakan akarnya. Apabila sudah terbentuknya negara yang merdeka, maka segala ciri negara tersebut diadun dan membentuk asas patriotisme. Secara dasarnya, patriotisme menjadi satu matlamat dan kaedah yang lebih besar. Akan tetapi, nasionalisme merupakan asas dan memerlukan semangat kebangsaan agar rakyat dapat mempertahan unsur patriotik dalam diri dan jiwa mereka. Kedua-dua unsur tersebut, iaitu patriotisme dan nasionalisme mempunyai kaitan antara satu dengan yang lain. Namun demikian, pada akhirnya, unsur patriotisme jualah yang lebih besar." "Majalah DBP Terus Hidup dalam Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2012 Dalam konteks menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju, perlu ada pembudayaan pembacaan dalam kalangan masyarakat. Dalam usaha ke arah itu, pada hari ini, Bahagian Majalah di bawah Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan program bertajuk \u201cForum Membudayakan Pembacaan Majalah DBP\u201d secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom.\n\nForum ini memberikan fokus terhadap cara membudayakan pembacaan majalah DBP, di samping mendapatkan maklumat, pandangan dan cadangan bagi menambah baik aspek kandungan dan kaedah penyampaian majalah. Program ini juga diadakan selaras dengan peranan DBP dalam usaha membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuklah sains dan teknologi.\nSesi perkongsian secara tertutup yang berlangsung selama dua jam setengah ini menampilkan dua orang ahli panel, iaitu Pensyarah di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dato\u2019 Dr. Ahmad Murad Noor Merican yang lebih dikenali sebagai A Murad Merican dan Presiden Gerakan Penulis Malaysia, Zamri Mohamad, serta Ketua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani Omar sebagai moderator.\nAntara perkara utama yang menjadi isu perbincangan termasuklah budaya membaca serta pemilihan bentuk bahan bacaan dalam kalangan rakyat Malaysia, usaha untuk menggalakkan amalan membaca, serta cadangan penambahbaikan majalah DBP bagi menarik minat golongan pembaca.\nMenurut A Murad Merican, tanggungjawab untuk menggesa masyarakat agar membudayakan amalam membaca terletak pada semua pihak termasuklah keluarga, pendidik, pihak berkuasa, badan bukan kerajaan (NGO), universiti serta sentimen masyarakat secara umum.\nTanya pada diri, apakah bahan bacaan yang kita baca?\nMenurut beliau, \u201cjenis bahan bacaan bergantung pada minat individu itu sendiri. Setiap masyarakat perlu peka terhadap objektif bacaan masing-masing dan bentuk bahan bacaan bagaimana yang boleh mencetuskan pemikiran dan perdebatan, serta memantapkan idea mereka untuk berdebat.\u201c\nTambah A Murad Merican, \u201cdalam membudayakan amalan membaca, perlu ada strategi mantap yang terletak pada penerbit buku, dan dalam konteks forum ini ialah penerbit majalah. Apa-apa yang penting, pembaca perlu mengenali kewujudan buku dan majalah itu sendiri.\u201c\nMembicarakan mengenai nilai bahan bacaan, Zamri Mohamad berkata, \u201cdari segi nilai, kita perlu meneliti apakah perkara yang dilihat oleh pembaca? Ada yang membaca kerana ingin mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi, dan ada yang membaca sebagai sumber hiburan.\u201c\nSesuatu bahan penerbitan itu, biar sedikit, asalkan menjadi dan memberikan kesan terhadap pembacanya.\nDalam pada itu, Zamri turut berkongsikan pandangan peribadi beliau mengenai strategi pemasaran dan kaedah untuk menjadikan sesuatu bahan penerbitan lebih menarik. Antaranya, kata beliau, \u201cjadikan kandungan bahan lama sebagai sesuatu yang segar untuk dibaca oleh generasi baharu.\u201c\nTurut hadir dalam forum ini ialah barisan kepimpinan DBP, antaranya Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Haji Md. Johari Hasan, Pengarah Jabatan Penerbitan, Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dr. Abang Patdeli Abang Muhi, serta ketua bahagian dan ketua editor dari Jabatan Penerbitan." "\u201cForum Pelajar 2021, Pentas Menggilap Permata Negara\u201c \u2013 Hajiji Noor\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu \u2013 Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah menyempurnakan perasmian Majlis Penutupan Pertandingan Forum Pelajar 2021 Peringkat Negeri Sabah yang diadakan secara maya melalui aplikasi Zoom pada 2 September 2021 (Khamis), pukul 10.00 pagi.\n\n\u201cPara pelajar yang ada pada hari ini akan menjadi pemimpin pada masa hadapan. Merekalah yang akan mencorakkan landskap pembangunan fizikal dan sosial negara pada ketika itu. Pertandingan seumpama Forum Pelajar inilah menjadi pentas untuk menggilap bakat dan kebolehan mereka sebagai permata negara yang pintar berfikir dan petah berhujah,\u201d ujar Hajiji dalam ucapannya.\nMenurut Hajiji lagi, pertandingan ini besar manfaatnya kerana pelajar dapat menonjolkan penggunaan bahasa kebangsaan yang terampil, bertepatan dengan matlamat untuk menyediakan wadah dan suasana penggunaan bahasa Melayu baku dalam kalangan pelajar sekolah Cina, dengan harapan dapat melahirkan satu model penggunaan bahasa yang sempurna dari segi tatabahasa, sebutan dan gaya penyampaian.\nDalam majlis ini, Sekolah Menengah Tshung Tsin Sabah, Kota Kinabalu telah diumumkan sebagai Johan Pertandingan Forum Pelajar 2021 Peringkat Negeri Sabah. Dengan membincangkan tajuk \u201cMembentuk Budaya Berfikir Golongan Muda\u201d, Angelin Kong, selaku ahli panel kedua dalam pasukan ini juga telah merangkul gelaran Ahli Forum Terbaik. Sementara itu, Naib Johan disandang oleh pasukan forum dari Sekolah Menengah Kian Kok, Kota Kinabalu manakala pengerusinya, Amanda Cheryl Wong, telah dinobatkan sebagai Pengerusi Terbaik. Pasukan dari Sekolah Menengah Yu Yuan, Sandakan pula mendapat tempat ketiga.\nPertandingan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah dengan kerjasama Kumpulan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Menengah Cina Persendirian Sabah ini telah diadakan saban tahun sejak tahun 1993, namun situasi penularan pandemik COVID-19 yang tidak menentu menjejaskan rancangan pelaksanaannya pada tahun 2020. Melalui kaedah pertandingan secara dalam talian yang disesuaikan mengikut norma baharu, program ini dapat diadakan semula pada tahun ini. Pertandingan Forum Pelajar Peringkat Kebangsaan dijangka diadakan pada penghujung September 2021." "Sidang Khas Pengurusan Pandemik COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBerdasarkan keputusan Sidang Khas Pengurusan Pandemik COVID-19, Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob \u00a0pada hari ini mengumumkan peralihan fasa di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk dua buah negeri, iaitu Melaka yang beralih kepada Fasa 2 dan Negeri Sembilan yang beralih kepada Fasa 3. Peralihan fasa bagi kedua-dua buah negeri ini akan bermula pada 4 September 2021.\nSelain itu, mesyuarat juga bersetuju untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung perjalanan (travel bubble) berdasarkan syarat yang ditetapkan.\n\u201cSebagai permulaan, Pulau Langkawi dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan yang akan bermula pada 16 September 2021. Sementara itu, destinasi pelancongan yang lain akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus,\u201d ujar Perdana Menteri menerusi hebahan kenyataan media.\nSelain itu, mesyuarat juga sebulat suara bersetuju agar Sidang Khas ini dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang bakal melibatkan wakil daripada parti pembangkang. Pendekatan ini merupakan satu daripada usaha kolektif untuk melibatkan semua pemegang taruh bagi memastikan pemulihan negara berjalan seperti yang telah dirancang, seiring dengan semangat Keluarga Malaysia.\n\u201cAlhamdulillah, hari ini buat pertama kalinya selepas beberapa bulan, kadar purata kebolehjangkitan (R-naught) di seluruh negara berada di bawah 1.0, saya yakin kita berada pada landasan yang tepat ke arah pemulihan negara,\u201d ujar Perdana Menteri.\nSementara itu, berdasarkan unjuran data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), purata kadar vaksinasi di setiap negeri dijangka akan mencapai 80 peratus bagi populasi dewasa menjelang penghujung September 2021. Perdana Menteri percaya bahawa kadar vaksinasi 100 peratus akan dicapai pada akhir Oktober 2021, hal ini sekali gus akan memberikan perlindungan kepada Keluarga Malaysia. Perdana Menteri turut menyuarakan saranan agar rakyat dan seluruh Keluarga Malaysia perlu bersedia untuk hidup bersama-sama COVID-19 sebagai endemik selepas Oktober 2021 apabila suntikan vaksin dijangka selesai sepenuhnya. Oleh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta untuk membentangkan strategi baharu pandemik dan endemik yang bersesuaian selain pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semata-mata.\n\u201cSaya menyambut baik saranan mengenai usaha untuk melakukan perubahan kepada tingkah laku (behavioural change) seperti yang diumumkan oleh KKM pada 1 September 2021. Keluarga Malaysia perlu sedar, pada akhirnya kita terpaksa hidup bersama-sama COVID-19 seperti yang berlaku di seluruh dunia,\u201d jelas Perdana Menteri." "Hentikan Penyebaran Maklumat Palsu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Penyebaran berita palsu semakin berleluasa sejak belakangan ini. Oleh itu, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dengan kerjasama Sinar Harian pada hari ini mengupas isu ini melalui forum yang bertajuk \u201cMaklumat Palsu: Peranan Masyarakat Beretika\u201d. Forum yang diadakan secara dalam talian ini boleh ditonton secara langsung menerusi Facebook Pertubuhan Ikram Malaysia dan Youtube TV IKRAM pada pukul 10.00 pagi hingga 12.30 tengah hari.\n\nForum ini menampilkan tiga orang ahli panel undangan, iaitu Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Profesor Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom, Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Mohd Farid Mohd Shahran, pempengaruh media sosial, Dr. Ahmad Samhan Awang, dan juga Presiden Persatuan Saintis Muslim Malaysia (Perintis), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad \u2018Athif Mohd Faudzi sebagai moderator.\nForum dimulakan oleh moderator, Profesor Ahmad \u2018Athif yang memerihalkan bagaimana pandemik COVID-19 pada hari ini memberikan impak yang besar apabila adaptasi masyarakat pada perubahan digitalisasi berlaku dengan semakin pantas. Kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi juga telah membawa dunia pada era penghasilan serta perkongsian berita dan maklumat dengan lebih mudah dan pantas. Pembanjiran maklumat yang dikongsi melalui media sosial dan juga media digital banyak mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku kita sebagai masyarakat.\nKita sebagai masyarakat Malaysia perlu melihat bagaimana kita boleh mengelakkan kekeliruan, salah faham, dan juga prejudis yang boleh membawa keburukan dan juga kemusnahan.\nPerbincangan forum ini diteruskan dengan ahli panel yang pertama, iaitu Dr. Mohd Farid. Menurut beliau, Islam amat mementingkan keyakinan dalam kita menerima khabar (maklumat). Khabar dan berita merupakan satu ilmu yang sah dalam Islam. \u201cPada hari ini, kita menerima khabar setiap hari, melalui aplikasi WhatsApp, Facebook, surat khabar dan banyak lagi,\u201d ujarnya.\n\nKita diingatkan dalam al-Quran melalui firman Allah SWT, \u2018Wahai orang beriman, jika sampai orang fasik kepada kamu untuk menyampaikan berita, perkara pertama yang kamu harus lakukan ialah tabayyun (selidik dahulu)\u2019.\nMenurut Dr. Mohd Farid lagi, \u201cdalam keadaan kita mendapat lambakan maklumat, sekiranya kita tidak ada disiplin ketika menerima maklumat, akan terjadi dua implikasi. Pertama, maklumat yang kita terima akan menjadi sebahagian daripada kepercayaan kita. Kedua, kefahaman kita rosak dan kita akan merosakkan kefahaman orang lain.\u201d\nSementara itu, Dr. Ahmad Samhan yang terkenal dengan perkongsian ilmu kesihatan di aplikasi TikTok dan kini mempunyai 1.1 juta orang pengikut berkongsikan perbezaan setiap media sosial yang mempunyai fungsi yang berbeza-beza. Katanya, \u201csetiap media sosial mempunyai peranan yang berbeza-beza dan juga digunakan oleh generasi yang berbeza-beza. Facebook merupakan media sosial tertua berbanding dengan platform media sosial yang lain.\u201d\n\nTambah beliau, \u201cbagi menyampaikan maklumat yang tepat kepada pelbagai golongan, sangat bagus jika kita boleh menggunakan semua platform kerana kita dapat kongsikan dan salurkan maklumat kepada pelbagai generasi.\u201d\nDalam forum tersebut juga, Profesor Mohamed Hatta mengelaskan tiga entiti yang terlibat dalam penyampaian maklumat, iaitu manusia, alat perhubungan (media sosial) dan juga Rabb (tuhan yang menguasai manusia dan alat). \u201cMalangnya, banyak antara kita yang sering lupa bahawa yang menguasai kita dan juga alat ini ialah Tuhan,\u201c ujar beliau.\nSelain itu, Profesor Mohamed Hatta juga menerangkan bahawa mereka yang suka menyebarkan berita palsu dan juga fitnah ini datang daripada dua golongan.\nGolongan pertama ialah manusia yang suka membuat berita palsu ini merupakan mereka yang sakit dan jahat. Mereka ini merupakan manusia yang menerima gaji sebagai laskar siber. Mereka ini jahat dan memakan gaji haram!\nTambah Profesor Mohamed Hatta, \u201cgolongan yang kedua pula merupakan orang yang tidak sengaja. Orang yang tidak tabayyun (tidak selidik dahulu) dan terus sebarkan. Perbuatan mereka ini tetap berdosa walaupun mereka tidak sengaja kerana tiada disiplin dan tiada tabayyun dalam diri mereka sebelum menyampaikan maklumat. Pada kebiasaannya, mereka ingin pengiktirafan bagi jiwa yang lemah.\u201d" "KPM Jalankan Sesi Libat Urus Sebelum Sekolah Dibuka\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLabuan \u2013 Berhubung dengan pembukaan sesi persekolahan yang dijadualkan bermula pada 3 Oktober ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjalankan beberapa sesi libat urus bersama-sama wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi mendapatkan pandangan ibu bapa dan guru tentang persekolahan anak-anak di negeri yang telah memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).\nPada pagi ini, rombongan Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin yang turut disertai oleh Ketua Setiausaha KPM, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datin Sri Noor Zamani Abdol Hamid mengadakan sesi libat urus di Labuan bersama-sama wakil PIBG dan guru di bawah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan.\nDalam sesi ini, YB Datuk Dr. Radzi Jidin menerangkan cadangan KPM berhubung dengan pembukaan sekolah. YB Datuk Dr. Radzi juga mendengar cadangan, pandangan serta menjawab soalan daripada wakil PIBG dan guru. Sesi libat urus di Labuan akan diteruskan pada pagi esok sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur.\nTerdahulu, pada 3 September lalu, KPM berada di Perlis untuk sesi libat urus bersama-sama PIBG, guru, serta pengetua dan guru besar di seluruh negeri Perlis. Sesi pertama adalah bersama-sama PIBG sekolah rendah dan kemudian diteruskan dengan sesi bersama-sama PIBG sekolah menengah.\n\u201cSesi perkongsian ini dapat membantu kami dalam memuktamadkan kerangka komprehensif pembukaan dan pengoperasian sekolah,\u201c ujar YB Datuk Dr. Radzi menerusi hantaran di media sosial beliau.\nMenurut YB Datuk Dr. Radzi, \u201ckami amat menghargai segala pandangan yang diberikan. Sepertimana yang selalu ditegaskan oleh KPM, keselamatan dan kesihatan anak-anak akan sentiasa diberikan penekanan.\u201c\n\u201cBerilah kepercayaan kepada kami untuk melaksanakan yang terbaik demi pendidikan anak-anak generasi pewaris negara,\u201c tambah beliau." "Pencapaian Terbaik Malaysia di Pentas Paralimpik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKontinjen Malaysia mampu mengukir senyuman kegembiraan sebaik-baik sahaja Sukan Paralimpik Tokyo 2020 melabuhkan tirainya secara rasmi pada malam ini.\nKepulangan atlet para negara diiringi dengan kejayaan mengutip tiga pingat emas dan dua pingat perak sekali gus merealisasikan sasaran yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Paralimpik Malaysia.\nDetik istimewa Malaysia bermula menerusi kejayaan atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin yang meraih pingat emas bagi kategori bawah 72 kilogram (kg) di Tokyo International Forum pada 28 Ogos lalu. Menariknya, kejayaan atlet dari Serian, Sarawak ini diperoleh menerusi catatan baharu Paralimpik selepas Bonnie berjaya mengangkat bebanan seberat 228 kg pada percubaan ketiga. Hasrat untuk memecahkan rekod dunia miliknya sendiri dengan catatan 230 kg yang dilakukan di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu pada Jun lalu tidak kesampaian selepas Bonnie gagal mengangkat berat bebanan 231 kg.\nNamun begitu, kejayaan itu sudah memadai buat Bonnie untuk memastikan emas menjadi milik Malaysia, \u00a0jauh meninggalkan pemenang tempat kedua dari Mesir, Mahmoud Attia apabila hanya mampu mengangkat 191 kg dan atlet Great Britain, Micky Yule yang meraih pingat gangsa (182 kg).\nKecemerlangan Bonnie walau bagaimanapun gagal diulangi seorang lagi atlet powerlifting negara, Jong Yee Khie apabila tewas kepada Enkhbayaryn Sodnompiljee dari Somalia yang meraih pingat emas kategori bawah 107 kg dengan catatan 245 kg. Namun begitu, Yee Khie tidak perlu kecewa kerana dia turut membanggakan Malaysia dengan pingat perak berserta catatan 237 kg setelah tewas kepada Sodnompiljee yang merupakan pemegang rekod dunia serta Paralimpik.\nSehari selepas itu, kem negara dikejutkan dengan kontroversi pingat emas jaguh olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli bagi acara lontar peluru T20 (masalah pembelajaran) pada aksi akhir di Stadium Olimpik dibatalkan. Kegembiraan seluruh rakyat Malaysia terhenti selepas penganjur temasya memutuskan bahawa penyertaan Ziyad yang pada ketika itu berjaya melakukan rekod baharu dunia dengan lontaran sejauh 17.94 meter (m) tidak diiktiraf selepas diletakkan status sebagai DNS (Did Not Start). Hal ini selepas Ukraine membuat protes kerana Ziyad lewat memasuki bilik menunggu dalam tempoh yang dibenarkan sebelum pertandingan itu bermula.\nDisebabkan itu, pingat emas Ziyad diberikan kepada atlet Ukraine, Maksym Koval sekali gus mencipta nama selaku pemegang rekod dunia baharu dengan catatan 17.34 m, manakala rakan senegaranya, Oleksandr Yarovyi meraih perak (17.30 m). Pingat gangsa pula dimenangi atlet Greece, Efstratios Nikolaidis dengan lontaran hanya sejauh 15.93 m.\nKekecewaan itu sedikit banyak terubat selepas Chew Wei Lun mencipta kejutan pingat perak buat kontinjen Malaysia dalam acara Boccia kategori BC1 di Pusat Gimnastik Ariake pada 1 September 2021. Kemaraan Wei Lun hingga ke peringkat akhir sememangnya tidak diduga sebelum dia terpaksa akur apabila tewas kepada juara bertahan yang juga juara dunia dari Great Britain, David Smith dengan keputusan 2-4.\nSaingan hari terakhir bagi kontinjen negara pada 4 September lalu berlangsung dengan penuh dramatik dengan Malaysia meletakkan sandaran kepada dua atlet terakhir Malaysia, iaitu pemain badminton para SU5, Cheah Liek Hou dan jaguh lompat jauh para T20, Abdul Latif Romly. Liek Hou terpaksa berhempas pulas dalam tiga set \u00a0menentang pemain Taiwan, Fang Jen-yu selepas tewas set pertama 15-21 sebelum bangkit memenangi dua set seterusnya dengan keputusan 21-10 dan 21-16 pada peringkat separuh akhir. Liek Hou yang pernah memenangi 11 kejuaraan dunia sejak tahun 2005 berusaha memastikan kejayaan di pentas akhir menjadi miliknya biarpun berdepan cabaran sengit daripada pilihan utama, Dheva Anrimusthi dari Indonesia menerusi kemenangan 21-17, 21-15.\nKejayaan itu menyaksikan emas bersejarah buat Liek Hou dan Malaysia kerana pentas Paralimpik Tokyo 2020 merupakan kali pertama sukan badminton diperkenalkan sejak temasya berkenaan mula dipertandingkan di Rom, Itali pada tahun 1960.\nPada hari yang sama, tumpuan seterusnya terarah kepada Latif yang merupakan wakil terakhir kontinjen negara pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020. Ternyata Latif tidak mengecewakan apabila berjaya menjelmakan pingat emas ketiga Malaysia menerusi lompatan sejauh 7.45 m sekali gus mempertahankan kejayaan yang dimenanginya sewaktu edisi Paralimpik Rio 2016.\nTiga lompatan pertama atlet dari Perlis itu dengan jarak 7.26 m, 7.45 m dan 7.24 m gagal dicabar oleh 11 peserta negara lain dalam aksi akhir di Stadium Olimpik yang memastikan dia berada pada landasan yang tepat untuk menjuarai saingan lompat jauh T20.\nBegitu pun, kem negara cemas seketika selepas Latif mengalami kecederaan pangkal paha kiri sewaktu lompatan ketiga sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda selepas itu. Mujurlah catatan terbaiknya, iaitu 7.45 m masih gagal dipintas oleh mana-mana peserta dan memilih untuk tidak melakukan lompatan terakhir selepas pencabar terdekatnya di tempat kedua, Athanasios Prodromou dari Greece hanya mampu melompat sejauh 7.17 m. Pencapaian itu sekali gus menyaksikan Latif muncul sebagai atlet Malaysia pertama selaku juara dalam dua temasya berturut-turut dan menanti ganjaran RM1 juta yang diperuntukkan dalam Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi pemenang pingat emas.\nPencapaian di Tokyo sudah tentu melegakan ketua rombongan Malaysia yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, YBhg. Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin kerana kontinjen negara berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan dan menutup temasya berkenaan dengan Malaysia berada pada kedudukan ke-39 terbaik daripada keseluruhan 86 negara yang bertanding.\nLebih menarik, kejayaan itu turut mengatasi pencapaian kontinjen terdahulu pada Paralimpik Rio 2016 yang pada ketika itu berjaya memenangi tiga pingat emas dan satu gangsa. Pastinya pungutan pingat Malaysia mampu bertambah untuk penganjuran edisi seterusnya di Paris, Perancis pada tahun 2024." "Labuan sebagai Perintis Pembukaan Sekolah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLabuan \u2013 \u201cPembukaan semula sekolah akan dijalankan mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menjalankan kajian dan penelitian yang mungkin menyaksikan Labuan menjadi negeri pertama yang terlibat dalam pembukaan sektor tersebut,\u201c demikian menurut Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin, pada satu sidang media di Labuan hari ini.\nTambah YB Datuk Dr. Radzi, \u201clangkah tersebut dipertimbangkan susulan peralihan Labuan ke Fasa Empat PPN yang secara umumnya hampir keseluruhan sektor ekonomi dan sosial\u00a0 dibenarkan beroperasi, dengan hasrat kita kembali kepada kehidupan normal sebelum ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.\u201c\n\u201cKita lihat Labuan merupakan satu-satunya negeri yang telah berada dalam Fasa Empat PPN yang memperlihatkan hampir keseluruhan sektor telah dibuka, dan kita sedang melihat cara terbaik bagaimana sektor pendidikan boleh dibuka dalam keadaan selamat,\u201d kata YB Datuk Dr. Radzi.\nMenurut YB Datuk Dr. Radzi juga, \u201cpihak KPM mempertimbangkan semua aspek tersebut dan pembukaan sekolah bakal dijalankan mengikut fasa. Insya-Allah kita akan ambil kira segala pandangan yang diberikan dalam menyusun dan merangka pembukaan sekolah nanti.\u201d\nDalam pada itu, YB Datuk Dr. Radzi juga berkata, KPM di peringkat persekutuan mengadakan mesyuarat dengan Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan, Dr. Ismuni Bohari dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman bagi membincangkan cadangan pembukaan sekolah tersebut.\nJelas YB Datuk Dr. Radzi, \u201cpertemuan itu adalah untuk menerangkan kepada mereka mengenai cadangan kami dan mendapatkan input serta pandangan daripada mereka bagi memastikan kaedah yang dicadangkan dapat dilaksanakan dengan baik dan mendapat sokongan semua pihak supaya anak-anak dapat kembali ke sekolah dengan selamat.\u201c" "Program BACATON Bersempena dengan DMK 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSemanggol\u00a0\u2013\u00a0Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kerian, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mudzaffar Shah, Kelab Penyair dan Deklamator Perak,\u00a0serta Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Kerian telah menganjurkan Program Baca dan Tonton (BACATON) bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2022. Program ini diadakan untuk mempersegar semangat membaca dalam kalangan pelajar sekolah dan masyarakat setempat.\nProgram ini turut menampilkan YBhg. Datuk Dr. Zulkafli Ghazali, mantan Pengarah Bahagian Pemprosesan Radiasi, Agensi Nuklear Malaysia sebagai ikon program. \u00a0Beliau merupakan alumni SMK Mudzaffar Shah sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Alam Shah Kuala Lumpur, Universiti Kebangsaan Malaysia dan seterusnya ke peringkat sarjana di Manchester University dan doktor falsafah di Leeds University, United Kingdom. Kepulangan beliau ke SMK Mudzaffar Shah umpama sirih pulang ke gagang dan ikan pulang ke lubuk yang memberikan\u00a0semangat kepada anak-anak zaman baharu di sekolah berkenaan untuk terus membaca dan menimba ilmu demi kemajuan diri, keluarga, bangsa dan negara.\nSementara itu, Encik Zulkifli Jamaludin, Timbalan PPD Kerian (Sektor Pembangunan Murid) ketika merasmikan program menegaskan bahawa budaya membaca amat penting diterapkan secara bersungguh-sungguh dalam kalangan pelajar kerana dengan membacalah\u00a0ilmu untuk membina sahsiah diri itu diperoleh.\nContoh yang paling jelas ialah ikon yang ditampilkan pada hari ini, iaitu daripada seorang budak kampung, beliau belajar sampai memperoleh kejayaan seperti pada hari ini. Datuk Dr. Zulkafli Ghazali merupakan antara kejayaan SMK Mudzaffar Shah dan kebanggaan Daerah Kerian.\nEncik Zulkifli turut\u00a0menyarankan agar program seumpama ini diteruskan dan diadakan dengan skala yang lebih besar dengan kerjasama pelbagai pihak supaya memanfaatkan pelajar dan masyarakat setempat. Dengan cara ini, akan lebih ramai lagi \u201cDatuk Dr. Zulkafli Ghazali\u201d lahir di Daerah Kerian ini.\nSementara itu, Datuk Dr. Zulkafli Ghazali juga mencadangkan agar ditubuhkan Alumni SMK Mudzaffar Shah supaya kegiatan ilmu seperti ini dapat digerakkan dengan lebih luas dan sistematik dengan kerjasama DBP, PPD dan badan-badan bukan kerajaan yang ada.\nProgram bual bicara ini dipengerusikan oleh pengasas BACATON, Encik\u00a0Sallehuddin Ibrahim. Yang turut hadir dalam program ini termasuklah Encik Rahimi Arifin\u00a0(Pengarah DBPWU)\u00a0dan Tuan Haji Mustapa Abidin (Pengetua SMK Mudzaffar Shah), serta Tuan Haji Sahariman Abdul Manap\u00a0(Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Kerian)\nProgram ini yang diadakan bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 11.00 pagi di Dewan Jaya, SMK Mudzaffar Shah, Simpang Empat, Semanggol, Perak,\u00a0turut disertai oleh guru-guru dan pegawai-pegawai PPD Kerian. Deklamasi puisi dan dendangan syair oleh pemuisi jemputan dan pelajar sekolah turut mewarnai program sebagai wadah untuk menyemarakkan kegiatan bersempena dengan DMK 2022." "KPM Teruskan Sesi Libat Urus di Negeri Sembilan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNegeri Sembilan \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada hari ini meneruskan sesi libat urus bersama-sama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru, guru besar dan pengetua sekolah dari seluruh Negeri Sembilan.\nMenurut Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin, menerusi sesi libat urus ini, KPM mendapatkan pandangan ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah tentang sesi persekolahan di negeri yang telah memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).\n\u201cPerkara ini penting dalam membantu KPM memuktamadkan pelan komprehensif pembukaan sekolah,\u201d ujar YB Dr. Radzi menerusi hantaran di media sosial beliau.\nTambah beliau, \u201csegala saranan dan cadangan yang dilontarkan dalam sesi libat urus ini akan kami teliti dan perhalusi. Apa-apa jua yang kami usahakan pastinya demi pendidikan generasi masa depan negara.\u201d\nDalam satu hantaran lain, YB Dr. Radzi berkata, \u201csebelum memulakan sesi ketiga libat urus pada hari ini, saya mengadakan mesyuarat secara maya bersama-sama Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).\u201d\n\u201cDalam mesyuarat tersebut, perkara utama yang dibincangkan adalah mengenai status pengambilan khas 18 702 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 secara sekali beri,\u201d tambah YB Dr. Radzi.\n\u201cSaya yakin, SPP selaku Pihak Berkuasa Melantik (PBM) sentiasa komited untuk membantu KPM dalam mempercepat pengisian kekosongan jawatan guru. Usaha ini akan dapat melancarkan lagi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran,\u201d katanya." "KPM Teliti Cadangan Pelajar SPM 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Datuk Dr. Radzi Jidin telah mengadakan dua sesi libat urus secara dalam talian dengan hampir 100 orang pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 dari seluruh negara pada petang tadi. Sesi pertama melibatkan wakil pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) manakala sesi kedua pula khusus untuk Murid Berkeperluan Khas (MBK).\nMenurut YB Datuk Dr. Radzi Jidin melalui kenyataannya di laman sosial Facebook beliau, para pelajar yang terlibat dalam perbincangan tadi begitu teruja berkongsi tentang pengalaman dan cabaran yang dihadapi oleh mereka dalam tempoh yang mencabar ini, termasuklah persiapan dalam menghadapi peperiksaan SPM yang dijadualkan berlangsung pada bulan Mac tahun depan. YB Datuk Dr. Radzi Jidin turut menyatakan bahawa beliau juga mendapat pelbagai pandangan dan cadangan untuk menambah baik pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang sedia ada daripada para pelajar tersebut.\nDi samping itu, dalam sesi kedua libat urus secara dalam talian, YB Datuk Dr. Radzi Jidin turut tersentuh dengan perkongsian daripada MBK yang tidak pernah jemu mengikuti pembelajaran walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran. Dalam sesi tersebut, MBK menyuarakan harapan mereka agar dapat kembali ke sekolah dan mengikuti pembelajaran secara bersemuka dengan selamat.\nSaya amat menghargai semua perkongsian dan cadangan yang diberikan. Insya-Allah, cadangan tersebut akan kami teliti dan perhalusi demi kebaikan bersama. Diharapkan semua pelajar yang bakal menduduki SPM pada tahun 2021 terus bersemangat untuk membuat persediaan dengan sebaiknya. KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik." "Kepengikutan dalam Hidup Seharian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSekalipun aspek kepengikutan tidak banyak diperkatakan berbanding dengan kepimpinan, sudah tiba masanya perhatian diberikan secara serius kepada kepentingan pengikut dan kepengikutan dalam struktur masyarakat. Pada hakikatnya, setiap pemimpin itu juga seorang pengikut, walaupun pengikut tidak semestinya diberikan tanggungjawab untuk memimpin dan digelar ketua.\nSekalipun status dan kedudukan pemimpin itu tampak hebat, tinggi dan dimuliakan, namun sebenarnya pemimpin sangat khuatir kehilangan pengaruh dan sokongan pengikutnya. Tanpa dukungan dan ketaatan para pengikut, lemahlah kedudukan seorang pemimpin. Kuantiti dan bilangan pengikut yang setia dijadikan kayu ukur untuk menilai sejauh manakah kekuatan dan kehebatan seseorang pemimpin.\nBagi pemimpin yang sememangnya mempunyai keperibadian, akhlak dan tingkah laku yang disenangi, di samping keupayaan membuat keputusan yang bijak dan pengalaman yang luas dalam mengendalikan urusan organisasi, kebolehpercayaan, kesetiaan dan rasa hormat\u00a0 pengikut tidak sukar untuk diraih.\nNamun begitu, sekiranya pemimpin mempunyai akhlak yang buruk, tidak mempunyai sifat empati, sukar bertolak ansur, tidak berkemampuan mengendalikan konflik, kurang upaya membuat keputusan yang tepat dan tidak berwibawa, pastinya timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan pengikut. Satu-satunya cara untuk mendapatkan kerjasama para pengikut adalah dengan memberikan tekanan demi tekanan, menggunakan paksaan, ancaman dan amaran, yang pada akhirnya akan berkesudahan dengan kekasaran, keganasan, ketidakadilan dan penindasan.\nPemimpin sebegini tidak mahu pengikutnya lebih berilmu dan bermaklumat, supaya mudah diperdaya dan terus berada di bawah telunjuk. Secara halus atau terang-terangan, pemimpin ini mengunci kerangka fikir pengikut dengan pelbagai helah, peraturan dan tipu daya. Malahan, ada kalanya pemimpin melakukan strategi kotor yang menimbulkan perselisihan dan pergeseran dalam kalangan pengikut, mengaburi mata dan melencongkan perhatian pengikut daripada kelemahan dan ketidakcekapan kepimpinannya. Kaedah menakut-nakutkan pengikut dengan pelbagai ancaman yang dimomokkan bagi mereka yang dianggap tidak patuh, sudah menjadi lumrah.\nSebagai akibatnya pengikut terpaksa menuruti segala kehendak dan arahan pemimpin kerana semata-mata takut diapa-apakan sekiranya membantah. Bagaikan kerbau dicucuk hidungnya, begitulah perumpamaan yang boleh menggambarkan situasi ini. Pemimpin terus-menerus menindas dan menekan pengikut kerana mahu kekal berkuasa, sementara pengikut pula tidak berani melakukan sebarang perubahan kerana bimbang dikenakan tindakan yang boleh mengancam keselamatan dan masa depan mereka.\nSebenarnya hubungan antara pemimpin dengan pengikut mestilah saling memperkukuh, melengkapi dan meningkatkan potensi antara satu dengan lain. Ibarat aur dengan tebing, pemimpin dan pengikut saling memerlukan untuk menjalin kerjasama yang erat. Asas kepada kolaborasi antara pemimpin dengan pengikut bergantung pada tahap kebolehpercayaan dan hormat \u00a0antara keduanya.\nPengikut percaya bahawa pemimpinnya akan membawanya ke arah kebaikan dan kesejahteraan. Sementara itu, pemimpin juga memerlukan pengikut yang aktif menyokong gagasan dan idea yang hendak diperkenalkan. Mekanisme semak dan imbang perlu dimainkan oleh para pengikut yang sentiasa peka dan sedar akan tanggungjawab mereka terhadap pemimpin. Pengikut yang mithali tidak boleh membiarkan pemimpin terus bergelumang dengan tingkah laku dan perbuatan yang menghakis kepercayaan orang ramai kepadanya.\nMelalui kaedah yang sesuai, pengikut mestilah mempunyai akses dan saluran untuk menyuarakan pandangan dan menyatakan sesuatu kebenaran dengan penuh ketelusan dan integriti. Pemimpin \u00a0juga tidak boleh semata-mata mendengar daripada satu pihak sahaja, khususnya dalam kalangan pengikut tegar dan penyokong yang setia. Pengikut seperti ini hanya akan menceritakan perkara yang baik dan indah sahaja, iaitu yang hendak didengar oleh pemimpin tersebut. Tidaklah hairan sekiranya pemimpin yang telah lama dikelilingi oleh para pengikut yang taasub dan yang sering mengampu, pada akhirnya terpaksa berhadapan dengan penentangan daripada pengikut yang berkesudahan dengan penyingkiran dan kejatuhan.\nTergelincirnya pemimpin daripada prinsip dan etika yang telah digariskan, terseretlah sama pengikut ke lembah kehinaan dan kehancuran. Ibarat dua sisi pada duit syiling yang sama, sesungguhnya pengikut dan pemimpin berpisah tiada. Pesanan buat pemimpin \u2013 hargailah kesetiaan pengikut dengan memberikan kepimpinan yang terbaik, berdedikasi dan berintegriti. Untuk pengikut pula, mainkanlah peranan yang efektif dalam memastikan pemimpin sentiasa berada di atas landasan yang benar.\n\u00a0\nProfesor Datuk Dr. Harlina Halizah Siraj,\u00a0Pengarah dan Pengasas AKADEMI DR HAR" "KPM Dapatkan Pandangan Pentadbir Sekolah di Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Rombongan Menteri Kanan Pendidikan, Yang Berhormat (YB)\u00a0Datuk Dr. Radzi Jidin tiba di Kuching, Sarawak pada pagi ini untuk sesi libat urus pengoperasian sekolah bersama-sama guru besar dan pengetua sekolah di negeri Sarawak.\nSelain itu, YB\u00a0Datuk Dr. Radzi Jidin dan rombongan KPM turut menjalankan sesi libat urus bersama-sama Jawatankuasa Bencana Negeri Sarawak yang dihadiri oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, YB Sim Kui Hian dan Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, YB Dr. Annuar Rapa\u2019ee.\nMenerusi hantaran di media sosial, YB Dr. Radzi berkata, \u201cinput dan pandangan daripada sesi ini dapat membantu KPM dalam memuktamadkan pelan komprehensif pengoperasian sekolah termasuklah negeri Sarawak yang berada pada Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).\u201d\nDalam pada itu, rombongan KPM berkesempatan melawat pusat pemberian vaksin bagi murid yang berumur antara 16 tahun hingga 17 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Matang Jaya, Kuching.\n\u00a0\nRombongan KPM ke Sarawak turut disertai oleh Ketua Setiausaha KPM, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datin Sri Hajah Nor Zamani Abdol Hamid dan wakil Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Puan Juraida [email\u00a0protected]." "KPM Perkenalkan Sistem Penggiliran ke Sekolah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Menyedari akan kebimbangan banyak pihak berhubung dengan pembukaan sekolah pada 3 Oktober ini, Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin menjelaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan sistem penggiliran kehadiran murid ke sekolah, iaitu hanya 50 peratus jumlah murid daripada keseluruhan enrolmen dibenarkan hadir ke sekolah pada satu masa yang ditetapkan.\nUntuk itu, sesi persekolahan secara bersemuka akan mengikut fasa di setiap negeri, iaitu bagi negeri yang berada dalam Fasa Empat, semua institusi pendidikan akan dibuka sepenuhnya. Sementara itu, bagi negeri dalam Fasa Tiga, semua institusi pendidikan akan dibuka secara berperingkat. Selebihnya, bagi negeri dalam Fasa Satu dan Fasa Dua, KPM memutuskan semua institusi pendidikan ditutup, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diteruskan dan hanya murid kelas peperiksaan dibenarkan ke sekolah (negeri Fasa Dua).\n\u201cSetelah mengambil kira segala pandangan, KPM memutuskan kapasiti kelas dihadkan kepada 50 peratus. Hal ini bermaksud, setiap kelas akan dipecahkan kepada dua kumpulan dan mereka akan bergilir untuk datang ke sekolah secara mingguan. Saya beri contoh, kelas Tingkatan 5A mempunyai 36 orang murid secara keseluruhan, maka jumlah ini akan dipecahkan kepada dua kumpulan, iaitu Kumpulan A dan Kumpulan B dengan masing-masing murid berjumlah 18 orang bagi setiap kumpulan. Kumpulan ini akan datang ke sekolah secara bergilir mengikut kumpulan.\u00a0 Kita percaya bahawa kaedah ini bukan sahaja akan dapat mengurangkan jumlah murid di dalam sesebuah kelas, tetapi yang lebih penting dapat mengurangkan risiko sekiranya berlaku jangkitan COVID-19,\u201d ujar YB Datuk Dr. Radzi dalam sidang medianya pada petang ini.\nTambah beliau, penggiliran ini bermaksud, pada minggu pertama, Kumpulan A akan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka, manakala Kumpulan B akan melaksanakan PdPR. Pada minggu kedua pula, Kumpulan B akan melaksanakan PdP secara bersemuka, manakala Kumpulan A melaksanakan PdPR. Sistem penggiliran ini akan berlarutan sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan oleh KPM kelak.\nUmum perlu mengetahui bahawa pengoperasian sekolah yang diputuskan ini telah mengambil kira ketetapan yang dibuat dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan mengambil kira pandangan semua pihak, iaitu ibu bapa, guru, pengetua, pelajar, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Tujuannya tidak lain tidak adalah untuk memastikan keputusan yang dibuat oleh KPM sebagai tepat dan merupakan keputusan yang terbaik untuk membawa kembali anak-anak ke sekolah.\n\u201cKPM mendapati, sejak operasi sekolah tidak berjalan secara bersemuka, anak-anak kita semakin jauh daripada sistem persekolahan. Kita tidak boleh membiarkan perkara ini berlarutan. Kita mempunyai perancangan, tetapi kita perlu melihat keadaan persekitaran. Kita juga perlu melihat dalam konteks yang lebih luas, khususnya latar belakang murid yang berbeza-beza. Maka itu, kami mencari titik tengah, iaitu kaedah yang terbaik untuk membawa lima juta orang murid di seluruh negara untuk kembali ke sekolah. Keputusan ini bukanlah mudah tetapi di kementerian, kami bertanggungjawab untuk memastikan anak-anak ini tidak terus berjauhan dengan sistem persekolahan. Kerangka yang diperkenalkan ini walaupun tidak sempurna tetapi inilah yang terbaik kerana apa-apa yang penting adalah untuk membawa mereka kembali ke sekolah kerana mereka sudah terlalu lama renggang dengan sistem persekolahan,\u201d ujar YB Datuk Dr. Radzi.\nSelain itu, YB Datuk Dr. Radzi turut memaklumkan bahawa terdapat enam kategori kehadiran murid ke sekolah tanpa penggiliran, iaitu kategori pertama, Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK); Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV); Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK); dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). Kategori kedua, murid tingkatan 6 semester dua dan International Baccalaureate Diploma (IBD) tahun 2. Kategori ketiga, murid di sekolah asrama sepenuhnya; kategori keempat, murid kelas peperiksaan antarabangsa; kategori kelima, murid persekolahan/tadika swasta/pusat perkembangan minda (berusia empat hingga enam tahun); dan sekolah kurang murid, iaitu sekolah yang memiliki jumlah keseluruhan murid kurang daripada 150 orang.\nSelain itu, menurut YB Datuk Dr. Radzi, pendekatan PdPR juga akan berbeza sebaik-baik sahaja penggiliran murid dilaksanakan kelak. Dalam hal ini, guru akan membantu murid untuk membuat persediaan apabila giliran mereka untuk PdP bersemuka tiba. Guru juga akan memberikan panduan kepada murid tentang bahan pendidikan yang akan diguna pakai dalam PdPR, selain DidikTV yang akan terus digunakan oleh murid sepanjang PdPR.\n\u201cSeperti yang saya katakan tadi, semua kaedah ini kita telah teliti satu per satu dan kita lakukan ini adalah untuk memastikan kita dapat kembalikan mereka ke sekolah terlebih dahulu,\u201d tegas YB Datuk Dr. Radzi yang berharap semua pihak dapat memahami usaha keras KPM ini." "Sekolah Dibuka Semula Mengikut Fasa PPN\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Berhubung dengan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka pada 3 Oktober 2021 yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini, KPM menerusi Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin memaklumkan pembukaan semula sekolah di seluruh negara akan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan fasa yang telah ditetapkan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).\nDalam Sidang Media Pengoperasian Sekolah yang diadakan pada pukul 3.00 petang hari ini, KPM memaklumkan, ketetapan pembukaan sekolah sama ada menerusi kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka atau pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bagi negeri Fasa Satu, Dua dan Tiga PPN akan dilaksanakan bermula pada 3 Oktober hingga 10 Disember 2021 bagi negeri Kumpulan A; dan pada 4 Oktober hingga 11 Disember 2021 bagi negeri Kumpulan B.\nYB Dr. Radzi berkata, bagi negeri yang berada dalam kelompok Fasa Satu PPN, semua institusi pendidikan ditutup dan segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan dilaksanakan menerusi kaedah PdPR.\n\u201cSementara itu, bagi negeri Fasa Dua PPN, semua institusi pendidikan sekolah rendah ditutup dan pelaksanaan sesi PdP dilakukan secara PdPR sahaja, kecuali bagi Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang akan hadir tanpa penggiliran,\u201d jelas YB Menteri Kanan Pendidikan.\nBagi murid sekolah menengah pula, beliau menjelaskan, hanya murid tingkatan enam semester dua; International Baccalaureate Diploma (IBD) tahun dua; Program Prauniversiti semester tiga di Sekolah Sukan Malaysia; MBK di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK) dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) serta PPKI; dan murid kelas peperiksaan antarabangsa akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran. Tambah YB Dr. Radzi, \u201cmurid prasekolah, tadika swasta, pusat perkembangan minda berumur empat hingga enam tahun serta sekolah kurang murid, iaitu kapasiti kurang daripada 150 orang murid juga akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran.\u201d\nBagi negeri Fasa Tiga PPN, semua institusi pendidikan di bawah KPM dibuka secara berperingkat, tertakluk kepada ketetapan KPM dan penilaian risiko oleh pihak yang berkenaan. Kebenaran pembukaan sekolah di negeri Fasa Tiga PPN akan diluaskan terhadap murid prasekolah dan tadika swasta. Jelas YB Dr. Radzi lagi, \u201cbagi peringkat sekolah menengah, kebenaran diberikan kepada murid kelas peperiksaan antarabangsa yang lain dan murid kelas peperiksaan awam di sekolah awam dan swasta untuk hadir secara penggiliran. Sementara itu, murid prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia dan kelas peperiksaan awam di sekolah asrama penuh pula akan hadir tanpa penggiliran.\u201d\nBagi negeri Fasa Empat PPN pula, semua institusi pendidikan dibuka sepenuhnya, tertakluk kepada penilaian risiko semasa. Hal ini dirumuskan oleh YB Menteri Kanan Pendidikan seperti pada rajah berikut: Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, sesi persekolahan bagi negeri atau kawasan yang terlibat dengan program gelembung pelancongan atau travel bubble akan mengikut sesi pembukaan sekolah mengikut Fasa Empat PPN. Menurut YB Dr. Radzi, \u201ckeputusan ini dibuat selaras dengan pembukaan semua sektor ekonomi dan pelancongan di negeri yang berkenaan. Sebagai contoh di Langkawi, sekolah di kawasan tersebut akan dibuka sebagaimana sekolah di negeri Fasa Empat PPN.\u201d\nDalam sidang media tersebut, YB Dr. Radzi turut berkata, sesi persekolahan bagi tahun 2021 akan dilanjutkan hingga Mac 2022. Hal ini bermakna, sesi persekolahan bagi tahun 2022 hanya akan bermula pada Mac tahun tersebut. Walau bagaimanapun, kemasukan murid tahun satu bagi sesi persekolahan tahun 2022 pula akan bermula pada April 2022." "KPM Peka terhadap Keselamatan Murid dan Kebimbangan Ibu Bapa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Keselamatan murid merupakan aspek utama yang dititikberatkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) semasa memutuskan pembukaan sesi pengoperasian sekolah mengikut fasa negeri masing-masing bermula 3 Oktober 2021 akan datang.\nMenurut Menteri Kanan Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Datuk Dr. Radzi Jidin dalam sidang media yang berlangsung kira-kira satu jam pada petang tadi menyatakan bahawa pihak KPM sentiasa mengutamakan keselamatan murid dan mengambil kira kebimbangan ibu bapa jika berlaku kes COVID-19 semasa pengoperasian sekolah.\nKPM telah berbincang dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan panjang lebarnya. Maka itu, KKM telah menetapkan bahawa jika terdapat kes positif COVID-19 di sekolah, pihak sekolah akan memaklumkan hal itu kepada Pusat Kesihatan Daerah (PKD) dan melaporkannya dalam sistem aplikasi data COVID-19 yang dibangunkan oleh pihak kementerian.\nSeterusnya, PKD akan membuat penilaian risiko bagi menentukan tindakan yang akan diambil. Kami ingin memohon jasa baik ibu bapa untuk memahami bahawa dalam konteks ini, KPM akan bekerjasama dengan PKD dan melaksanakan apa-apa sahaja nasihat yang diberikan oleh PKD serta memaklumkannya kepada ibu bapa.\nPengoperasian sekolah perlu dilaksanakan untuk memastikan anak-anak tidak terus berjauhan daripada sistem pendidikan. Bukan sahaja Malaysia, negara lain seperti Filipina dan India juga turut mencari inisiatif bagi melaksanakan persekolahan secara bersemuka untuk mengelakkan keciciran murid dalam pelajaran walaupun penularan pandemik COVID-19 dalam negara tersebut masih belum reda.\nOleh hal yang demikian, bagi memastikan kelangsungan proses pengajaran dan pembelajaran yang akan dilaksanakan secara penggiliran mengikut jadual yang ditetapkan oleh KPM mulai 3 Oktober 2021 berjalan dengan lancarnya, ibu bapa juga perlu memainkan peranan mereka bagi memastikan anak-anak yang hadir ke sekolah berada dalam keadaan sihat dan tidak bergejala.\nSelain itu, ibu bapa juga perlu mempersiapkan aspek keselamatan anak-anak sebelum ke sekolah. Sebagai contoh, ibu bapa perlu prihatin akan pemilihan pemandu bas yang akan menghantar anak-anak mereka ke sekolah sekiranya pemandu yang dipilih oleh mereka tidak berada dalam senarai yang diberikan oleh pihak KPM. Pemandu tersebut sewajarnya telah dipastikan menjalani dua dos vaksinasi demi keselamatan anak-anak.\nMenurut YB Datuk Dr. Radzi Jidin, bagi membantu ibu bapa menguruskan pengangkutan anak-anak ke sekolah, pihak KPM telah mendapatkan senarai pengusaha bas sekolah daripada pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia dan menggunakan senarai itu untuk berbincang dengan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) supaya pemandu bas sekolah dalam senarai KPM divaksinkan.\nDalam soal pemakaian anak-anak ke sekolah pula, ibu bapa perlu memastikan anak-anak memakai pelitup muka. Pemakaian pelitup muka berganda adalah sangat digalakkan.\nTambah YB Datuk Dr. Radzi Jidin lagi, sebagai langkah mengurangkan beban ibu bapa menjelang pembukaan sesi persekolahan, KPM turut memberikan kelonggaran kepada murid memakai pakaian yang sesuai, kemas serta sopan jika pakaian seragam sekolah yang ada tidak lagi sesuai dipakai.\nBagi kelas Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan yang dibenarkan bagi aktiviti sukan, murid disarankan untuk memakai pakaian sukan dari rumah bagi mengelakkan kesesakan di tandas atau di bilik persalinan di sekolah, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan COVID-19 antara mereka.\nDi samping itu, YB Datuk Dr. Radzi Jidin menyatakan bahawa KPM juga tidak memaksa ibu bapa yang berasa ragu-ragu tentang tahap keselamatan anak mereka daripada dijangkiti COVID-19 apabila anak mereka hadir ke sekolah. Pihak sekolah tidak akan mengeluarkan surat amaran atau mengenakan sebarang tindakan disiplin ke atas murid sekiranya ibu bapa atau penjaga memilih untuk tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah.\nKetidakhadiran murid ke sekolah tidak dianggap sebagai satu kesalahan disiplin. Walau bagaimanapun, ibu bapa perlu menulis surat untuk menjelaskan sebab-sebab ketidakhadiran sebagai rekod kepada pihak sekolah. Kelonggaran ini terpakai bagi sesi pengoperasian sekolah hingga hujung tahun ini.\nKesimpulannya, KPM cuba untuk membawa dan mendekatkan anak-anak kembali ke sekolah dan pada masa yang sama akan sentiasa mengutamakan keselamatan mereka, dan mengambil kira tahap kebimbangan ibu bapa dalam konteks menghantar anak-anak ke sekolah. Sememangnya KPM sentiasa komited untuk memberikan yang terbaik." "KPM Buka Semula IPG di Seluruh Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 \u201cKementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk membuka semula semua Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka mengikut fasa bagi setiap negeri,\u201c ujar Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin dalam sidang medianya pada petang ini.\nMenurut YB Datuk Dr. Radzi, semua IPG di negeri yang terletak dalam Fasa Satu dan Fasa Dua perlu melaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Manakala IPG yang terletak di negeri Fasa Tiga dan Fasa Empat pula akan mula dibuka untuk sesi PdP secara bersemuka pada 7 atau 8 November akan datang.\nDi samping itu, pelajar yang telah lengkap divaksin sebanyak dua dos diberi pilihan sama ada untuk datang ke kampus bagi mengikuti sesi PdP secara bersemuka ataupun melakukan sesi PdPR (PdP Hibrid). Bagi pelajar yang belum divaksin dan belum lengkap divaksin sepenuhnya pula perlu mengikuti sesi kelas secara PdPR.\n\n\nPelajar yang terlibat merangkumi pelajar Program Diploma Perguruan Malaysia (PDPM), Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) dan Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP).\nSelain itu, YB Datuk Dr. Radzi turut memaklumkan bahawa sebanyak 88.56 peratus guru sekolah sudah melengkapkan dua dos vaksin dan dos pertama mencatatkan jumlah 97.46 peratus setakat 11 September 2021. Hal ini diikuti dengan 83.38 peratus anggota kakitangan perkhidmatan (AKP) sekolah melengkapkan dua dos vaksin dan 96.96 peratus untuk dos pertama. 74.90 peratus Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) telah melengkapkan dua dos vaksin dengan 90.59 peratus menerima dos pertama, manakala sekitar 2500 orang guru sahaja yang tidak mahu divaksin." "Pandangan Pakar tentang Pengoperasian Semula Sekolah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sidang Media Pengoperasian Sekolah yang berkaitan dengan pembukaan sekolah secara berperingkat mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan oleh YB Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin kelmarin mengundang pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat. Dewan Masyarakat berpeluang untuk bertanyakan pandangan beberapa orang pakar tentang persediaan dari pelbagai sudut yang melibatkan semua pihak sama ada murid, ibu bapa mahupun guru.\nEncik Sukimin Juki, Yang Dipertua Majlis Guru Besar Malaysia menyatakan bahawa beliau bersetuju dengan pendekatan yang diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).\nSaya menyokong dan bersetuju dengan usaha yang dikemukakan oleh YB Menteri Kanan Pendidikan untuk mendekatkan semula murid dengan sekolah setelah sekian lama berenggang. Hal ini demikian kerana usaha ini berkait rapat dengan pembangunan kognitif murid mengikut peringkat umur. Kita sedia maklum pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) merupakan kaedah yang diguna pakai ketika ini. Namun kekangan yang pelbagai menyebabkan tidak semua murid dapat mengikuti PdPR ini sepenuhnya. Kekangan ini menjadi cabaran terbesar bagi guru dan murid. Hal inilah yang membuatkan KPM mengambil pendekatan mengadakan sesi persekolahan secara bersemuka pada Oktober nanti.\nSetiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Mejar Bersekutu (PA) Wang Heng Suan turut berpandangan bahawa sesi persekolahan secara bersemuka merupakan harapan para guru kerana fitrah seorang guru yang lebih selesa berhadapan secara langsung dengan anak didik semasa sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).\nBeliau berpendapat bahawa kaedah yang digunakan sepanjang pandemik COVID-19 ini, iaitu PdPR mempunyai cabaran dan kekangannya yang tersendiri. NUTP yang turut menyertai sesi libat urus sebelum sidang media dikendalikan oleh YB Datuk Dr. Radzi Jidin semalam juga menyatakan bahawa KPM juga amat menitikberatkan isu keselamatan dan kesihatan warga sekolah dan sedaya upaya mencadangkan kaedah yang terbaik dalam aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP).\nApabila diumumkan pengoperasian semula sekolah atau dengan kata lain sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadualkan bermula pada 3 Oktober 2021, KPM berharap agar semua pihak termasuklah guru, ibu bapa dan murid itu sendiri bersedia dari semua aspek termasuklah psikologi.\nMenurut Profesor Datin Dr. Mariani Md. Nor yang merupakan Pakar Psikologi Pendidikan di Universiti SEGi, kesediaan psikologi amat penting bagi melancarkan sesi persekolahan yang bakal dibuka kelak.\nKesediaan psikologi yang paling utama perlu ada ialah keyakinan. Ibu bapa perlu yakin bahawa KPM telah merincikan kaedah yang terbaik sebelum membuat keputusan untuk memulakan semula sesi persekolahan. Tanpa keyakinan daripada pihak ibu bapa, bagaimanakah anak-anak yang begitu teruja untuk menjalani sesi persekolahan secara bersemuka yakin bahawa mereka selamat untuk kembali ke sekolah? Keyakinan terhadap guru yang menjadi ibu bapa kedua di sekolah juga amat penting bagi membolehkan proses PdP secara bersemuka dapat dilaksanakan dengan lancar. Menjadi tugas ibu bapa mempersiapkan diri anak-anak dengan sistem imuniti yang tinggi dan menyediakan keperluan perlindungan diri seperti pelitup muka dan pensanitasi tangan selain membuka minda mereka tentang perlunya menjaga SOP ketika berada di sekolah.\nPeringkat awal sistem penggiliran kumpulan murid, guru mungkin berasa kekok. Walau bagaimanapun, keyakinan perlu dibina melalui pengurusan masa dan emosi yang baik. Tekanan emosi merupakan kesan pandemik COVID-19 paling ketara bukan hanya kepada guru, malah seluruh masyarakat. Oleh sebab itu, guru perlu bijak menguruskan emosi dan mendapatkan sokongan daripada persekitaran khususnya orang yang terdekat seperti pasangan, ibu bapa atau rakan-rakan.\u201d\nBagi merealisasikan matlamat KPM dalam pengoperasian semula sekolah, ibu bapa dan para guru dilihat perlu berganding bahu untuk bersama-sama mempersiapkan murid bagi melalui sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah. Tidak dapat tidak, semua pihak mesti melalui kehidupan dalam kebiasaan baharu kesan daripada pandemik COVID-19 ini. Memetik kata-kata Profesor Datin Dr. Mariani bahawa, \u201cKebiasaan baharu perlu seiring dengan mentaliti baharu\u201d." "Menteri Kanan Pendidikan Perjelas mengenai Pembukaan Semula Sekolah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Berikutan pengumuman pengoperasian sekolah pada Ahad lalu, Menteri Kanan Pendidikan, YB Dr. Radzi Jidin memperjelas mengenai pembukaan sesi persekolahan pada 3 Oktober akan datang.\nMenerusi video yang dimuat naik di media sosial beliau pada malam 13 September 2021, YB Dr. Radzi berkata, \u201csaya memantau maklum balas daripada pengumuman pembukaan semula sekolah, semalam (Ahad). Daripada maklum balas tersebut, didapati ada yang masih menganggap semua sekolah di seluruh negara akan dibuka pada 3 Oktober. Secara umumnya, saya kongsikan mengenai pembukaan sekolah mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).\u201d\n\u201cBagi negeri Fasa Satu PPN, tiada sekolah dibuka,\u201d kata beliau.\nTambah YB Dr. Radzi, \u201cuntuk negeri Fasa Dua PPN, bagi sekolah rendah, hanya Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang akan masuk ke sekolah. Kemudian, untuk sekolah menengah, hanya murid Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) semester dua yang akan ke sekolah kerana mereka akan menduduki peperiksaan pada akhir Oktober nanti.\u201d\n\u201cBagi negeri Fasa Tiga PPN, selain murid MBK di SKPK dan PPKI, kita juga akan masukkan murid prasekolah ke sesi persekolahan secara bersemuka. Untuk sekolah menengah pula, selain murid STPM semester dua, semua murid tingkatan lima dan murid STPM yang lain akan hadir ke sekolah,\u201d ujar YB Dr. Radzi.\nDalam video tersebut, beliau turut berkata, \u201cdi negeri Fasa Empat PPN, untuk dua minggu pertama, iaitu pada 3 hingga 17 Oktober 2021, murid yang akan berada di sekolah rendah sama seperti murid di negeri Fasa Tiga PPN. Hanya selepas 17 Oktober, kita akan tambah kehadiran murid tahun satu, dua dan tiga. Kemudian, pada 31 Oktober, murid tahun empat, lima dan enam pula akan hadir ke sekolah.\u201d\n\u201cBagi sekolah menengah pula, kehadiran murid juga sama seperti negeri Fasa Tiga PPN untuk tempoh 3 hingga 17 Oktober 2021. Selepas 17 Oktober, murid yang akan masuk ke sekolah ialah murid tingkatan tiga dan empat. Selepas itu, bermula pada 31 Oktober, murid tingkatan satu dan dua pula akan menghadiri sesi persekolahan secara bersemuka. Begitulah keadaannya,\u201d ujar YB Dr. Radzi.\nMenerusi hantaran video tersebut, beliau turut menjelaskan, \u201c. kemasukan murid dan pelajar ke sekolah dilaksanakan demi memastikan anak-anak kita terus rapat dengan sekolah, dan mereka dapat hadir ke sekolah dalam keadaan yang selamat.\u201c" "Berbahasa untuk Meningkatkan Nilai Diri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pada hari ini, Bilik Kuala Lumpur, di Aras 5, World Trade Center menjadi tumpuan hampir 100 orang peserta Seminar X: Bermula Dengan Apa yang Ada di Tangan. Acara ini berlangsung bagi mengisi pelbagai aktiviti sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang berlangsung pada 3 Jun hingga 12 Jun 2022.\n\u201cBahasa ialah alat mengukur kebijaksanaan seseorang,\u201d tegas Puan Suhaili Ikhsan, dalam slot pertama seminar yang bertajuk \u201cMencipta Hasil Menggunakan Modal Diri\u201c. Tambahnya lagi, walaupun seseorang itu tidak menjalani pendidikan formal di sekolah, kebijaksanaannya dapat dilihat melalui bahasa yang diungkapkan dan perkara yang diperkatakannya.\nDalam seminar itu, beliau memberikan beberapa contoh teknik bahasa persuasif yang banyak menggunakan konotasi positif, menggunakan bahasa yang jelas dan mudah difahami, serta menggunakan gaya bahasa futuristik seperti akan, supaya dan sehingga.\nPenulis buku Kod Kepimpinan Perempuan yang diterbitkan oleh PTS Publication ini telah berkongsi empat teknik untuk meningkatkan modal diri. Menurut Puan Suhaili, perkara pertama yang harus ditekankan ialah fokus kepada ketampanan sosial, iaitu karisma diri. \u201cKarisma diri kita akhirnya akan mempengaruhi orang lain seterusnya mencipta hasil yang baharu\u201c, ujar beliau.\nTeknik kedua ialah pendidikan, iaitu ilmu yang ada pada diri. Seterusnya, bakat dan kepandaian yang dikuasai secara mendalam dan yang terakhir ialah nilai yang ada dalam diri \u00a0yang diukur dengan menilai manfaat yang telah diberikan kepada orang lain.\nSehubungan dengan itu, para pengunjung PBAKL bolehlah mendapatkan buku penulisan beliau bagi mempelajari pelbagai perkara penting dan menarik mengenai pembangunan diri terutamanya berkenaan dengan kepimpinan wanita." "Menelusuri Sejarah Pembentukan Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u2012 Rancangan Sembang Tamu bertajuk \u201cMenelusuri Tarikh Keramat 16 September\u201d anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah diadakan secara dalam talian menerusi laman media sosial DBP pada hari ini, bertujuan untuk mengimbau kembali sejarah pembentukan Malaysia.\n\nRancangan yang diadakan bersempena dengan sambutan Hari Malaysia yang ke-58 pada 16 September 2021 ini menampilkan Profesor Dr. Kassim Thukiman, iaitu Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Warisan Johor dan Ahli Majlis Jemaah Diraja Johor serta Dr. Mardiana Nordin yang merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya dan penulis buku teks Sejarah tingkatan dua sebagai ahli panel dan Tuan Ghani Abu sebagai moderator.\nProf. Kassim menjelaskan perlunya memahami konsep sejarah sebelum menceritakan asal usul pembentukan Malaysia.\nDaripada sejarah, terdapat penyelidikan. Sejarah melibatkan pemikiran, peradaban Tanah Melayu serta melibatkan masa lalu dan masa kini.\nBeliau meneruskan dengan menceritakan secara mendalam garis masa bermula penjajahan Portugis pada tahun 1511 menuju hari pembentukan Malaysia pada September 1963. Idea pembentukan Tanah Melayu dinyatakan oleh Malcolm MacDonald yang berpendapat untuk menyatukan negeri-negeri yang dijajah oleh British termasuk Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei selepas perang Dunia kedua.\nDr. Mardiana pula menegaskan bahawa Pembentukan Malaysia berlaku dengan penuh liku, drama dan emosi kerana Tunku Abdul Rahman pada masa itu bekerja keras mengambil kira pendapat, pandangan dan cita-cita pelbagai pihak sebelum niat pembentukan Malaysia dibawa ke United Nation. Jawatankuasa Setiakawan Malaysia (JKNM) dan Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan bagi menjelaskan konsep Malaysia kepada perwakilan Sabah, Sarawak dan Brunei dan tujuan utama penerangan ini dijalankan adalah untuk mengurangkan dan mengelakkan salah faham tentang penubuhan Malaysia.\nPembentukan Malaysia dirancang untuk diadakan sama dengan Hari Kemerdekaan Malaysia, iaitu 31 Ogos, namun, laporan United Nations Malaysia Mission (UNMM) telah dikeluarkan pada bulan September. Maka itu, tarikh keramat 16 September telah dipilih.\nPembentukan Malaysia bukanlah deklarasi satu malam, tetapi melalui beberapa episod penting seperti masalah politik dan kemerosotan pengaruh Lee Kuan Yew; masalah komposisi kaum terutama di Sabah dan Sarawak; isu pembangunan wilayah; serta kewibawaan Tunku Abdul Rahman.\n\u201cPada 9 Ogos 1965, Tunku memutuskan untuk mengeluarkan Singapura dari Malaysia kerana kerenah politik dan perkauman yang telah menguji kesabaran beliau,\u201d tambah Dr. Mardiana.\nMengulas cabaran pascapembentukan Malaysia, kedua-dua pakar sejarah ini bersetuju bahawa mengekalkan kemerdekaan adalah jauh lebih mencabar berbanding dengan memperolehinya.\n\u201cSebelum merdeka, matlamat kita adalah satu \u2012 kita inginkan kemerdekaan. Namun demikian, selepas kemerdekaan, kita menghadapi pelbagai isu dan sentimen. Hal ini merupakan satu cabaran dalam melihat diri kita sebagai satu warganegara\u201d, ujar Dr. Mardiana apabila berbicara tentang isu kenegerian dalam kalangan rakyat Malaysia.\n\u201cAsia Tenggara merupakan kawasan paling strategik dan paling rapuh keselamatannya. Oleh itu, generasi muda khususnya perlu menjiwai kemerdekaan, mencintai Malaysia kerana di sini lahirnya sebuah cinta\u201d, ujar Prof. Dr. Kassim menyeru generasi baharu untuk sering menghayati kedamaian yang dikecapi pada hari ini dan bukan hanya dalam tempoh sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.\nTonton rancangan \u201cMenelusuri Tarikh Keramat 16 September\u201c di sini." "KPPM Merungkai Isu Pengoperasian Semula Sekolah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Slot Ruang Bicara yang diadakan secara telesidang pada pukul 3.00 petang tadi oleh BERNAMA TV bersama-sama Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),\u00a0YBhg. Datin Sri Nor Zamani Abdol Hamid telah merungkai dan memberikan pencerahan yang jelas terhadap isu yang sedang hangat dibincangkan berkenaan dengan pengoperasian semula sekolah bagi tahun 2021.\n\nMenurut YBhg. Datin Sri Nor Zamani, KPM mengambil kira kegusaran ibu bapa untuk menghantar semula anak-anak ke sekolah bermula pada 3 Oktober ini. Oleh itu, pihak kementerian menegaskan bahawa keputusan ini tidak dilakukan secara sambalewa, sebaliknya telah dirujuk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara berkala. Keputusan pembukaan semula sekolah di bawah KPM adalah selaras dengan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).\nTujuan pengoperasian semula sekolah di bawah KPM adalah untuk memberikan akses penuh kepada murid-murid terhadap pendidikan setelah sekian lama proses pembelajaran dijalankan secara dalam talian.\n\u201cKerisauan ibu bapa tentang keselamatan anak-anak ketika sesi persekolahan secara bersemuka merupakan satu daripada elemen terpenting yang diambil kira oleh pihak KPM. Merujuk permasalahan tersebut, para guru disarankan untuk melengkapkan dua dos suntikan vaksin imunisasi sebelum kembali ke sekolah pada 3 Oktober 2021,\u201d ujar beliau.\nTambah YBhg. Datin Sri Nor Zamani lagi, \u201crekod ambilan suntikan vaksin COVID-19 pada 11 September 2021 memaparkan lebih 70 peratus individu yang terlibat dengan sekolah telah pun lengkap vaksinasi mereka. Peratusan itu dapat dilihat seperti golongon guru sebanyak 88.56 peratus, Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) sebanyak 83.38 peratus dan Pekerja-pekerja Sokongan (PPS) sebanyak 74.90 peratus. Angka ini memperlihatkan keyakinan dan jaminan yang ditawarkan oleh pihak KPM tentang pembukaan semula sesi persekolahan.\u201d\nSelain itu, YBhg. Datin Sri Nor Zamani turut menjelaskan bahawa pembukaan sekolah akan dilaksanakan mengikut fasa PPN secara tuntas.\nSekolah yang berada di Fasa Satu PPN akan terus menjalani pembelajaran secara dalam talian. Bagi sekolah yang berada di Fasa Dua, sekolah akan dibuka dengan sistem penggiliran mengikut minggu sebanyak 50 peratus kehadiran demi memastikan penjarakan dan keselamatan lebih terjaga. Keistimewaan diberikan kepada murid yang bakal menghadapi peperiksaan penting untuk hadir ke sekolah tanpa sistem penggiliran, dan kit ujian kendiri COVID-19 akan dilakukan pada hari pertama, keenam dan ke-14 mereka berada di sekolah.\nPengoperasian semula sekolah turut melibatkan murid tadika sehingga institusi pengajian tinggi dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak KPM, MKN dan KKM. Pelaksanaan secara terperinci akan dilakukan mengikut kawasan sekolah dan fasa PPN yang terkini.\nKehadiran murid-murid ke sekolah pada 3 Oktober akan datang telah pun diperincikan dari segala aspek keselamatan, risiko dan kebaikan. Pihak KPM amat menitikberatkan aspek \u2018gelembung selamat\u2019 untuk murid-murid bagi pengoperasian semula sekolah pada tahun 2021.\nDalam rancangan bual bicara yang disiarkan di BERNAMA TV itu, YBhg. Datin Sri Nor Zamani turut menjelaskan bahawa, \u201cmurid-murid tidak dipaksa untuk menghadiri sesi persekolahan secara bersemuka, namun ibu bapa disarankan memaklumkan kepada pihak sekolah melalui surat bertulis agar kehadiran dan sebab ketidakhadiran dapat direkodkan secara formal. Walau bagaimanapun, sokongan dan kepercayaan daripada ibu bapa amat diharapkan agar anak-anak dapat memiliki akses pendidikan yang sewajarnya dengan segala langkah pencegahan yang telah ditetapkan.\u201d" "Tadika Swasta dan Pusat Perkembangan Minda Kanak-kanak di Terengganu Dibenarkan Beroperasi Esok\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Semua tadika swasta, tadika di sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan pusat perkembangan minda untuk kanak-kanak berumur empat tahun hingga enam tahun di\u00a0 Terengganu dibenarkan beroperasi sepenuhnya mulai esok, 17 September 2021 dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Kebenaran pengoperasian ini adalah berikutan peralihan Terengganu ke Fasa Tiga di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).\nMemetik semula kenyataan Menteri Kanan Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Datuk Dr. Radzi Jidin pada 12 September 2021 baru-baru ini, \u201cpembukaan semula sekolah bagi negeri Fasa Tiga PPN adalah secara berperingkat dan tertakluk kepada ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta penilaian risiko oleh pihak yang berkenaan. Kebenaran pembukaan sekolah di negeri Fasa Tiga PPN akan diluaskan terhadap murid prasekolah dan tadika swasta.\nSelain itu, kebenaran pengoperasian sekolah mengikut fasa PPN ini adalah sejajar dengan usaha KPM untuk mengembalikan anak-anak ke sekolah setelah semakin jauh daripada sistem persekolahan sejak operasi sekolah tidak berjalan secara bersemuka. Menurut YB Datuk Dr. Radzi:\nSemua kaedah ini kita telah teliti satu per satu. Keputusan ini bukanlah mudah tetapi di kementerian, kami bertanggungjawab untuk memastikan anak-anak ini tidak terus berjauhan dengan sistem persekolahan. Kerangka yang diperkenalkan ini walaupun tidak sempurna tetapi inilah yang terbaik kerana apa-apa yang penting adalah untuk membawa mereka kembali ke sekolah kerana mereka sudah terlalu lama renggang dengan sistem persekolahan." "Sejarah Membangkitkan Patriotisme\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bulan kebangsaan saban tahun dirai oleh segenap rakyat Malaysia walau di mana-mana jua mereka berada. Namun begitu, sejauh manakah penghayatan erti sebenar semangat patriotik terhadap bulan kebangsaan ini?\nYayasan Warisan Johor (YWJ) mengambil inisiatif untuk membangkitkan penghayatan rakyat terhadap perjuangan mencapai kemerdekaan Malaysia melalui penganjuran program Bicara Patriotisme dengan tajuk \u201cSumbangan Johor dalam Penubuhan Malaysia\u201c.\nProgram berkonsepkan bual bicara ini dikendalikan oleh Dr. Maskiah Haji Masron selaku moderator bersama-sama dua orang panel, iaitu Profesor Dr. Kassim Thukiman dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Tuan Haji Amad Bahri Mardi, Pengetua SMK Seri Aman, Kota Tinggi. Program yang diadakan secara langsung di media sosial YWJ ini bertujuan untuk menyemarakkan lagi rasa cinta akan tanah air bersempena dengan Hari Malaysia pada hari ini.\nDalam program tersebut, Profesor Dr. Kassim yang terkenal dengan kajiannya tentang sejarah negeri Johor mengatakan bahawa terdapat ramai tokoh pejuang yang menuntut kemerdekaan negara berasal dari Johor.\nDato\u2019 Onn Jaafar merupakan antara tokoh ulung yang berjuang menentang Malayan Union pada tahun 1946. Bertitik tolak dari inilah tertubuhnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang menyatukan orang-orang Melayu dalam usaha menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.\nMenurut beliau lagi, kemajuan negeri Johor bertitik tolak daripada Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor yang wujud pada 14 April 1895. Bermodelkan rang undang-undang negeri ini pejuang kemerdekaan menggubal Perlembagaan Tanah Melayu pada tahun 1956. Rang undang-undang yang lengkap ini meliputi hal ehwal sistem pemerintahan, politik, sosial, ekonomi dan budaya. Kedaulatan negeri Johor yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor dijadikan contoh untuk pembinaan negara kita, misalnya berkenaan agama Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu (bahasa Melayu-Riau) sebagai bahasa kebangsaan di negeri Johor dan Tanah Melayu (dalam Perlembagaan Malaysia).\nTuan Haji Amad Bahri pula menekankan tentang peri pentingnya tahu tentang sejarah tanah air agar generasi muda tidak hanya mengecap kemerdekaan hanya pada tarikh dan bulan kebangsaan semata-mata. Yang paling utama, bacalah buku tentang sejarah dan pilihlah buku yang betul agar maklumat yang diperoleh tepat dan sahih kerana cabaran dunia teknologi hari ini menyebabkan generasi muda lebih banyak membaca dan mendengar ceramah berbanding membaca buku tentang sejarah.\nBagaimana kita hendak menghargai erti kemerdekaan tanpa kita tahu siapakan pejuang-pejuang yang bergadai nyawa memerangi musuh dan penjajah? Penghayatan tentang erti kemerdekaan tanah air bukan sekadar sambutan di sekolah semata-mata. Penghayatan ini tanggungjawab semua warganegara Malaysia baik murid di sekolah, ibu bapa, guru, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak berautoriti perlu saling berperanan. Peristiwa-peristiwa dalam sejarah inilah yang membawa kepada di mana kita pada hari ini." "Cara Hidup yang Betul dengan Pelitup Muka\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam usaha untuk memperlahankan penyebaran COVID-19, banyak negara telah mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam.\nBiarpun ada pendapat yang bertentangan mengenai apakah pelitup muka mampu mencegah penyakit ini daripada menular dari satu orang ke orang yang lain, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan penggunaan pelitup muka perubatan untuk pesakit, mereka yang mempunyai gejala COVID-19, pekerja kesihatan, orang yang merawat kes yang disyaki atau disahkan, mereka yang berusia 60 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai isu kesihatan seperti menghidap penyakit diabetes, penyakit jantung, kanser, obesiti dan penyakit buah pinggang. WHO juga mengesyorkan pelitup muka jenis kain untuk masyarakat umum sekiranya terdapat risiko penyebaran dalam komuniti secara meluas dan sukar untuk melakukan penjarakan fizikal.\nPelitup muka hanya berkesan apabila digunakan bersama pembersihan tangan yang kerap dengan menggosok tangan menggunakan pensanitasi berasaskan alkohol atau sabun dan air.\nBerdasarkan kajian yang diterbitkan dalam Prosiding Akademi Sains Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) oleh penyelidik Universiti Austin, Texas pada Januari lalu mendapati bahawa pelitup muka adalah 79 peratus berkesan untuk mencegah penularan virus jika digunakan sebelum timbulnya gejala. Kajian ini tidak melihat risiko relatif pelbagai jenis pelitup.\nPemakaian pelitup muka awam paling berkesan untuk mengurangkan penyebaran virus apabila kadar kepatuhannya tinggi. Memandangkan kekurangan pelitup perubatan semasa, pihak penyelidik mengesyorkan penggunaan pelitup muka kain, sebagai bentuk kawalan sumber yang berkesan, bersama dengan strategi kebersihan, penjarakan sosial dan pengesanan kontak rapat yang ada.\nBagaimanapun, negara seperti United Kingdom dan Singapura bertindak sebaliknya. Kedua-dua belah negara meminta rakyatnya agar tidak memakai pelitup untuk memastikan bekalan dan peralatan perlindungan diri (PPE) mencukupi untuk pekerja kesihatan.\nSementara itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) tidak secara khusus menganjurkan penggunaan pelitup muka pembedahan tetapi menasihatkan penggunaan penutup muka kain sederhana yang diperbuat daripada kain kapas biasa untuk memperlahankan penyebaran virus dan mencegah mereka yang asimtomatik daripada menyebarkannya kepada orang lain.\nDi negara Asia seperti China, Taiwan atau Hong Kong, pelitup muka agak lazim bahkan sebelum kemunculan COVID-19, mereka telah biasa memakai pelitup muka sama ada disebabkan oleh pencemaran atau pengalaman sebelumnya dengan wabak SARS dan H1N1. Di negara ini, pelitup muka diwajibkan di tempat awam lebih setahun lalu, iaitu bermula pada 1 Ogos 2020. Hingga Julai 2020, lebih 120 negara telah mewajibkan pemakaian pelitup muka dengan Venezuela muncul sebagai negara pertama bermula bulan Mac tahun lalu. Namun begitu, hingga Mei tahun ini, Israel, New Zealand, Bhutan, Hawaii, Amerika Syarikat dan China tidak lagi mengarahkan rakyatnya memakai pelitup muka di luar rumah kerana jumlah kes COVID-19 menurun dan lebih ramai yang telah mendapat vaksin.\nWalau bagaimanapun, pelitup muka diperlukan apabila berada dalam persekitaran tertutup seperti pusat penjagaan kesihatan atau perniagaan serta di dalam kapal terbang, bas, kereta api dan pengangkutan awam yang lain. Jadi, dijangkakan kita akan terus memakai pelitup muka di pusat beli-belah, salun pendandan rambut dan ke sekolah untuk tempoh dua tahun ke depan atau lebih. Oleh itu, timbul banyak persoalan mengenai bagaimana pelitup muka disesuaikan dengan kehidupan kita yang sibuk.\nMemandangkan COVID-19 telah pun bertapak selama hampir dua tahun, sebilangan besar daripada kita mempunyai asasnya, seperti jenis pelitup muka, cara menyimpan dengan selamat dan menanggalkannya, persoalan mengenai bahan terbaik sama ada anda perlu menggunakan pelindung muka, dan cara bersin atau batuk sewaktu memakai pelitup muka telah pun diketahui jawapannya.\nMemang benar, pelitup muka tidak pernah diterima secara universal sebelum ini berbanding sekarang. Namun begitu, hal itu tidak menjadikannya lebih mudah dipakai terutama ketika cuaca panas, bau nafas sewaktu berpelitup muka, kulit merengsa jika dipakai dalam tempoh yang lama setiap hari, senyuman yang tersembunyi, alat pendengaran tertarik keluar dan cermin mata yang berkabus akibat nafas yang dihela dari dalam pelitup muka.\nLetak di Bawah Dagu\nPerkara yang akan dibincangkan ini merupakan antara penyelesaian pakar bagi keluhan yang paling sering dialami masyarakat ketika memakai pelitup muka. Misalnya, adakah selamat untuk menarik pelitup dan meletakkannya di bawah dagu?\nAnda mungkin pernah melihat banyak orang melakukan perkara ini ketika mereka bergerak berulang alik antara ruang dalaman di mana-mana pelitup biasanya diperlukan dan di luar tempat yang tidak memerlukannya. Adakah amalan ini selamat?\n\u201cTidak, itu mungkin perkara terburuk yang boleh anda lakukan dengan pelitup muka,\u201d kata Profesor Dr. Zain Chagla, Pakar Penyakit Berjangkit di Universiti McMaster di Hamilton sewaktu wawancara dengan CBC News. Hal ini dikatakan demikian kerana pelakunya berisiko mendapat titisan atau kuman di bahagian luar pelitup ke dagu dan bibir bawah.\nTentu saja, menarik pelitup ke bawah dagu sering melibatkan sentuhan pada bahagian depannya dan amalan ini tidak digalakkan kerana boleh mencemarkan tangan anda. Ingat, anda hanya boleh memegang pelitup pada gelung telinga dan mencuci tangan anda sebelum dan selepas memegang pelitup. Virus yang menyebabkan COVID-19 dianggap menular ketika titisan berjangkit masuk melalui mata, hidung atau mulut.\nPenyimpanan Pelitup Muka\nAmalan kedua yang paling kerap dilakukan adalah menggantung pelitup pada cermin pandang belakang sewaktu berada di dalam kenderaan.\nAnand Kumar, Profesor Perubatan di Universiti Manitoba mengatakan, amalan tersebut bergantung pada tahap risiko yang dihadapinya. \u201cSebagai doktor, memandangkan saya mendapat pendedahan di hospital, saya mungkin tidak akan melakukannya,\u201d katanya. Dr. Lynora Saxinger, Profesor Bersekutu di Bahagian Penyakit Berjangkit di Universiti Alberta di Edmonton, juga pernah mengesyorkan untuk tidak mengamalkannya.\nAkan tetapi, menurut Dr. Kumar, jika anda memakai pelitup di persekitaran berisiko rendah, tidak salah membiarkannya tergantung di cermin semalaman untuk dipakai pada keesokan harinya. Sebaiknya anda menukar dan mencuci pelitup muka selepas setiap penggunaan.\nMelihat kepada keadaan ini, apakah kaedah terbaik untuk menyimpan pelitup muka semasa dalam perjalanan? Anda disyorkan menyimpan pelitup muka anda di dalam beg kertas, sampul surat, atau sesuatu yang tidak dapat mengekalkan kelembapan jika anda akan memakainya lagi.\nDr. Kumar menyatakan, beg plastik tidak digalakkan kerana menyimpan kelembapan, yang memungkinkan bakteria tumbuh pada pelitup muka. Namun begitu, beliau mengakui langkah ini agak janggal, tetapi di kawasan berisiko rendah, maka tiada masalah untuk meletakkan pelitup di dalam poket anda. Sebaliknya, Dr. Kumar mengatakan, dalam lingkungan berisiko tinggi seperti komuniti dengan wabak, lebih baik sentiasa memakai pelitup muka walaupun ketika berada di luar bangunan. \u201cSekiranya anda memakai pelitup dan kemudian menanggalkannya, tindakan ini mendedahkan anda kepada risiko mencemarkan diri dengannya,\u201d katanya.\nMenggunakan Semula Pelitup Muka Pakai Buang\nBolehkah anda menggunakan semula pelitup muka pakai buang? Kalau boleh, berapa kali dibenarkan?\nWalaupun pelitup muka kain boleh dicuci dan digunakan kembali, kebanyakan pelitup muka perubatan secara rasmi dirancang untuk satu kali penggunaan terutamanya di persekitaran yang berisiko tinggi.\nAkan tetapi, Dr. Kumar mengatakan bahawa anda boleh menggunakannya semula, terutama jika anda baru keluar dan sekeliling anda kawasan yang kadar jangkitannya rendah. Antara cara menggunakannya adalah dengan meninggalkan pelitup di dalam beg kertas sekurang-kurangnya tiga hari. Selama masa itu, sebarang virus pada pelitup secara beransur-ansur akan berkurang. Dia mengatakan bahawa wajar sekali mempunyai lima hingga tujuh pelitup muka yang dikitar untuk digunakan pada hari-hari berikutnya.\nPun begitu, berapa kali kita boleh menggunakan semula pelitup muka? Menurut beliau lagi, pelitup jenis ini boleh digunakan semula sehingga kotor, usang atau rosak. Akan tetapi, sudah pasti, anda tidak mahu menggunakan pelitup yang kotor,\u201d katanya. Topeng muka kain yang boleh digunakan semula biasanya disyorkan untuk mengekalkan bekalan pelitup perubatan sekali pakai untuk pekerja penting yang memerlukannya.\nMemandangkan pelitup muka datang dalam pelbagai gaya dan harga, jenis manakah yang harus kita cari? Dr. Kumar mencadangkan pelitup muka dengan pelbagai lapisan kerana lapisan tambahan meningkatkan kadar perlindungan. Dalam pada itu, WHO mengesyorkan pelitup muka tiga lapisan. Dalam pemilihan pelitup muka, bentuknya tidak menjadi masalah, hanya perlu saiz yang bersesuaian kerana pemakaian yang lebih ketat memaksa udara melalui pelitup dan bukan di sekelilingnya.\nDari segi bahan, Dr. Kumar mengesyorkan penggunaan kain kapas kerana virus tetap dapat dikesan pada beberapa bahan sintetik untuk jangka masa yang lebih lama. WHO pula mengesyorkan kain kapas atau bahan penyerap air lain untuk lapisan dalam, tetapi mengesyorkan bahan kalis air sintetik untuk lapisan luar.\nPencemaran Lautan\n\nDianggarkan di peringkat global, 65 bilion sarung tangan digunakan setiap bulan. Jumlah pelitup muka hampir dua kali ganda \u2012 129 bilion sebulan dan diterjemahkan menjadi 3.0 juta pelitup muka yang digunakan setiap minit.\nKajian berasingan melaporkan bahawa 3.4 bilion pelitup muka atau pelindung muka dibuang setiap hari. Negara Asia pula diramalkan membuang 1.8 bilion pelitup muka setiap hari \u2012 jumlah tertinggi di mana-mana benua di seluruh dunia. China, dengan jumlah penduduk terbesar di dunia (1.4 bilion) membuang hampir 702 juta pelitup muka setiap hari. Boleh dikatakan kesemua pelitup muka tersebut sekali pakai kerana harganya cukup murah untuk digunakan sekali dan kemudian dibuang.\nPermasalahannya, peralatan penjagaan kesihatan ini tidak akan hilang apabila dibuang. Pelitup muka, sarung tangan dan tisu dibuat daripada pelbagai serat plastik, terutamanya polipropilena yang kekal dalam persekitaran selama beberapa dekad, mungkin berabad-abad, terurai menjadi mikroplastik dan nanoplastik yang lebih kecil dan lebih kecil.\nSatu pelitup muka boleh melepaskan sebanyak 173 ribu mikrofiber setiap hari ke laut, berdasarkan kajian Environmental Advances. Pelitup muka dan sarung tangan yang masuk ke dalam sungai kemudiannya akan masuk ke dalam laut. Para saintis telah mencatat kehadiran barangan ini di pantai Amerika Selatan, saluran sungai di Teluk Jakarta, Bangladesh, pantai Kenya dan di Kepulauan Soko yang tidak berpenghuni di Hong Kong. PPE yang dibuang telah menyumbat saluran air dari New York City ke Nairobi dan telah menghalang mesin dalam sistem kumbahan perbandaran di Vancouver, British Columbia.\nPerkara tersebut juga mempengaruhi haiwan. Burung Coot yang inovatif, berwajah putih setinggi kaki, telah diperhatikan di Belanda sambil membawa pelitup muka untuk membina sarang \u2014 dengan anggapan kakinya yang besar tidak terjerat dalam gelung pelitup muka. Perkara ini dikesan pernah mengakibatkan kejadian yang membunuh angsa, burung camar, helang peregrine dan burung penyanyi, berdasarkan kajian dalam Biologi Haiwan.\nPelitup muka, sarung tangan dan tisu tidak boleh dikitar semula di kebanyakan sistem perbandaran dan tidak boleh dimasukkan ke dalam tong sampah kitar semula isi rumah. Topeng muka mengandungi campuran kertas dan polimer, termasuk polipropilena dan polister, yang tidak dapat dipisahkan menjadi aliran tulen dari bahan tunggal untuk dikitar semula. Mereka juga sangat kecil sehingga terperangkap dalam mesin kitar semula dan menyebabkan kerosakan.\n\u201cOleh sebab itu, sangat penting untuk belajar bagaimana membuang pelitup muka dengan betul bagi memastikan peralatan ini tidak berakhir di lautan, tasik dan sungai,\u201d kata Erin Simon, Ketua Sampah Plastik dan Perniagaan di World Wildlife Fund (WWF).\n\u201cCabarannya, masyarakat umum menggunakannya dan tidak membuangnya dengan betul. Dalam hal ini, pilihan yang tepat adalah penyediaan tempat pembuangan sampah perubatan seperti ini,\u201d kata Simon.\nPeralatan pelindung diri diperbuat daripada plastik dan tidak boleh dikitar semula dan sekarang ditemui di mana-mana di muka bumi, termasuk lautan. Sejak itu, para saintis telah mengumpulkan lebih daripada 40 kajian yang mendokumentasikan penggunaan dan pelupusan PPE dan memodelkan penampilannya dalam skala global.\nRisiko Jika Tidak Dibuang dengan Betul\nKetika dunia sedang berjuang menentang wabak COVID-19, satu trend mengganggu yang muncul adalah insiden di mana pelitup muka dilupuskan tanpa berfikir terlebih dulu.\nPada hari ini, kita melihat pelitup muka yang terpakai tidak dibuang di dalam tong sampah sebaliknya dicampak di tepi jalan, di dalam lif, tersangkut di troli beli-belah dan kawasan awam lain. Topeng muka terpakai yang terdapat di persekitaran menimbulkan risiko kesihatan awam. Dr. Wong Chen Seong, perunding di Pusat Nasional Penyakit Berjangkit, Singapura mengatakan bahawa pelitup muka yang dibuang secara tidak betul, terutama yang kotor atau mempunyai sejumlah besar rembesan pernafasan yang berisiko membahayakan kesihatan jika orang lain menyentuhnya.\n\u201cVirus merebak melalui kontak, iaitu jika orang lain secara tidak sengaja menyentuh pelitup muka yang kotor, dan kemudian menyentuh pula wajah mereka sendiri,\u201d kata Dr. Wong.\nTurut bersetuju dengan pendapat tersebut ialah Dr. Leong Hoe Nam, Pakar Penyakit Berjangkit di Pusat Pakar Gunung Elizabeth Novena. Beliau menyatakan bahawa pelitup yang terdedah membawa risiko dengan menyebarkan virus ke udara.\n\u201cJika terkena tempat terbuka, dengan angin kencang, ada risiko kecil aerosolis,\u201d katanya. Aerosolisation merujuk kepada proses apabila bahan seperti ludah atau lendir seseorang tersebar dan disebarkan melalui udara. \u201cBagaimanapun, (membuang pelitup muka dalam bekas yang tidak betul) menjijikkan dan tidak sihat,\u201d tambahnya. Menurutnya lagi dengan iklim panas dan lembap di Singapura, virus itu kemungkinan dapat bertahan berjam-jam di permukaan yang terdedah serta berupaya hidup antara dua hingga tiga hari.\nDr. Leong menambah, kuman yang berbeza dapat bertahan pada pelitup muka yang digunakan untuk jangka masa yang berbeza. Sebagai contoh, bakteria boleh hidup selama berbulan-bulan hingga bertahun-tahun jika disimpan di tempat yang sejuk, katanya.\nLipat, Ikat dan Bungkus\nDr. Leong memperincikan beberapa langkah yang harus diambil sekiranya anda ingin membuang pelitup muka. Beliau menjelaskan bahawa kita harus selalu mencuci tangan sebelum menanggalkan pelitup muka kerana menyentuh wajah dengan tangan yang tidak dicuci akan mendedahkan diri untuk lebih mudah diserang penyakit.\nKita harus menanggalkan pelitup muka dan melipatnya separuh ke dalam, supaya titisan dari mulut dan hidung tidak terkena. Kemudian, lipat pelitup menjadi separuh lagi, dan kemudian separuh lagi, sehingga pelitup muka kelihatan seperti bergulung. Topeng juga boleh dibalut dengan gelung telinga sehingga tidak terurai.\nKemudian, pelitup muka itu perlu dibungkus dengan sehelai tisu sebelum membuangnya ke dalam tong sampah. Profesor Madya Alex Cook, Wakil Dekan Penyelidikan di Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock di Universiti Nasional Singapura mengatakan bahawa mangsa yang dijangkiti virus harus lebih berhati-hati semasa membuang pelitup muka.\n\u201cJika anda dijangkiti virus dan memakai pelitup muka untuk mencegah penularan, semestinya anda boleh membuangnya di tempat sampah biasa,\u201d kata Dr. Cook. Tambah beliau, \u201c . menjadi idea yang baik untuk memasukkannya ke dalam beg plastik atau kertas dan membuangnya segera ke dalam tong sampah daripada membiarkannya terdedah.\u201d" "KPM Komited Menyediakan Persekitaran yang Selamat untuk Pelajar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Malaysia merupakan antara negara yang sudah lama menangguhkan sesi persekolahan secara bersemuka. Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin dalam sidang medianya pada 12 September yang lalu telah mengumumkan pembukaan semula sekolah yang akan dilakukan secara berperingkat mulai 3 Oktober 2021. Pengumuman tentang pembukaan semula sekolah dan pembelajaran secara bersemuka telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan ibu bapa terutamanya soal keselamatan anak-anak.\nPerihal pengoperasian semula sekolah ini telah dijelaskan secara terperinci oleh Pengarah Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Encik Zainal Abas melalui program temu bual Agenda AWANI yang disiarkan secara langsung di Astro AWANI pada 18 September 2021 pada jam 8.30 malam. Mengulas perkara ini, beliau menjelaskan bahawa sekarang merupakan masa terbaik untuk pembukaan kembali sesi persekolahan secara bersemuka.\n\u00a0\nPelbagai kajian dilakukan di seluruh dunia tentang learning-lost kepada para pelajar dan KPM memahami akan implikasi jika Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ini diteruskan dengan begitu lama. Jadi ini ialah peluang untuk kita memulakan semula sesi persekolahan apabila kita melihat kadar vaksinasi di seluruh negara telah meningkat.\nMemperincikan pembukaan sekolah mengikut fasa dan kategori pelajar, beliau menjelaskan bahawa di negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN), semua murid di peringkat sekolah rendah dan menengah akan meneruskan pembelajaran secara PdPR.\nBagi negeri di Fasa Dua pula, Murid Berkeperluan Khas (MBK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) akan hadir secara bersemuka dan tanpa penggiliran. Hal ini dikatakan demikian kerana bilangan mereka tidak terlalu ramai berbanding dengan murid di dalam kelas biasa. Pembukaan bagi sekolah menengah tanpa penggiliran juga melibatkan para MBK di Sekolah Menengah Pendidikan Khas dan Sekolah Pendidikan Khas Vokasional. Selain itu, kehadiran murid secara bersemuka tanpa penggiliran juga akan melibatkan para pelajar tingkatan enam semester dua, pelajar International Baccalaureate Diploma tahun dua serta para pelajar di Sekolah Sukan Malaysia.\nSelain itu, beliau juga menjelaskan tentang takwim akademik tahun 2021 bagi sekolah di Malaysia yang bakal dilanjutkan hingga awal tahun depan.\nKPM juga telah menggariskan bahawa takwim 2021 akan dilanjutkan hingga tahun 2022. Pada Januari dan Februari, para pelajar akan kekal di dalam kelas dan tingkatan masing-masing dan meneruskan pembelajaran 2021 pada dua bulan pertama tahun 2022 nanti. Kalendar akademik yang baharu akan bermula pada Mac 2022.\nKPM sangat komited untuk menyediakan persekitaran sekolah yang selamat untuk murid-murid. Beberapa pendekatan telah dijalankan, antaranya ialah vaksinasi guru. Selain itu, penggunaan kit ujian kendiri amat digalakkan kepada para pelajar sebagai satu daripada langkah pencegahan penularan COVID-19. Kelompok pertama pelajar, iaitu pelajar berasrama yang dihantar oleh ibu bapa, pelajar yang menaiki bas untuk ke asrama, serta pelajar dari Sabah dan Sarawak mesti membuat ujian kendiri untuk memastikan mereka bebas daripada virus. Beliau juga menjelaskan bahawa selepas enam hari pertama, satu ujian akan dijalankan. Selepas 14 hari pula, satu lagi ujian akhir akan dilaksanakan. Perkara ini adalah berdasarkan perbincangan yang dilakukan oleh KPM dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.\n\nMurid-murid akan melaksanakan ujian sebelum dibenarkan masuk ke dalam asrama. Jika keputusannya negatif, pelajar akan dibenarkan masuk ke dalam asrama. Di setiap sekolah akan disediakan ruangan untuk murid turun dan mendapatkan ujian yang mana keputusannya akan diketahui dalam masa lima belas minit. Keputusan ini akan menentukan sama ada pelajar dibenarkan masuk ke sekolah ataupun tidak. Jika didapati positif, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan dihubungi dan ibu bapa perlu membawa anak mereka untuk mengambil ujian saringan COVID-19.\nBagi pelajar lain di sekolah harian pula, ujian akan dijalankan kepada murid-murid yang bergejala. Jika keputusannya didapati positif, pelajar akan dibawa ke PKD untuk tindakan selanjutnya.\nSelain itu, penetapan prosedur operasi standard (SOP) lain ialah murid diwajibkan memakai dua lapis pelitup muka bagi mereka yang masih belum mendapat suntikan vaksin. Langsir tingkap tidak digalakkan digantung untuk memberikan pengudaraan yang lebih baik kepada bilik darjah. Tingkap dan pintu pula perlu sentiasa dibuka. Operasi penyuraian murid akan diteruskan dan penyuraian akan dilakukan secara berperingkat untuk memastikan tidak terlalu ramai murid, ibu bapa atau penjaga berada di pintu pagar sekolah pada satu-satu masa.\nMenurut Encik Zainal Abas, \u00e2\u20ac\u0153pembukaan sekolah ialah penggemblengan tenaga antara pihak KPM, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru besar dan pemimpin masyarakat serta para pelajar di sekolah. Keseluruhan lapisan masyarakat perlu faham perkara yang dilakukan oleh KPM. Usaha memastikan penyediaan persekitaran yang selamat untuk murid-murid seharusnya melibatkan usaha yang tidak berbelah bahagi antara pelbagai pihak.\nKPM melaksanakan sesi libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan. Semasa pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) misalnya, Menteri Kanan Pendidikan sendiri bersama-sama pegawai di KPM menjelajah seluruh negara dan berjumpa dengan semua pemegang taruh termasuklah murid-murid yang menduduki UPSR itu sendiri untuk mendapatkan pandangan sebelum ketetapan tersebut dibuat. Begitu juga dengan pembukaan sekolah ini, Yang Berhormat Menteri sendiri bersama-sama pengurusan tertinggi KPM, Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia telah pun menjelajah ke negeri Fasa Tiga dan Fasa Empat PPN yang dijangkakan bakal dibuka lebih awal untuk mendengar pandangan mereka termasuklah daripada pengetua, guru dan pihak PIBG.\nEncik Zainal juga menjelaskan bahawa sekolah akan menjadi pelindung bagi anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik ini. Pengesanan yang dilakukan menunjukkan terdapat lebih kurang 4000 orang murid telah kehilangan satu atau kedua-dua ibu bapa akibat pandemik ini. Pelbagai perancangan telah dilakukan termasuklah kerjasama dengan pihak PIBG, penyelarasan bantuan daripada PERKESO, penempatan murid-murid terjejas ke asrama sekolah, dan program kaunseling bersama-sama para kaunselor sekolah untuk membantu menstabilkan emosi dan mental yang terkesan akibat pandemik ini. Kebajikan guru dan warga sekolah lain yang terjejas akibat COVID-19 juga tidak dilupakan.\nBeliau merumuskan bahawa KPM telah melaksanakan pengoperasian yang dirancang dengan baik dan pelbagai SOP baharu telah ditetapkan untuk membolehkan sekolah beroperasi sebagai satu kawasan yang selamat untuk murid hadir secara bersemuka. Beliau menyuarakan harapan daripada pihak kementerian agar ibu bapa bekerjasama untuk menyokong usaha yang dilakukan oleh pihak kementerian untuk kesinambungan pendidikan murid." "Pengoperasian Tadika Swasta dan Pusat Perkembangan Minda di Negeri Fasa 1 dan Fasa 2 PPN\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui kenyataan media pada hari ini memaklumkan pengoperasian tadika swasta dan pusat perkembangan minda bagi murid yang berumur antara empat (4) hingga enam (6) tahun di negeri Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).\nHal ini berikutan KPM mendapati masih terdapat kekeliruan berkaitan dengan pengoperasian tadika swasta dan pusat perkembangan minda bagi murid yang berumur antara empat (4) hingga enam (6) tahun tersebut. Menurut KPM,\n\u00c2\u00a0. semua tadika swasta, tadika di sekolah swasta, tadika di sekolah antarabangsa dan tadika di sekolah ekspatriat serta pusat perkembangan minda bagi murid yang berumur antara empat (4) hingga enam (6) tahun di negeri Fasa 1 dan Fasa 2 telah dibenarkan beroperasi mulai 17 September 2021 untuk anak-anak yang ibu bapa atau penjaga mereka bekerja.\nTambah KPM lagi, pengoperasian ini tertakluk kepada kapasiti bilik darjah dengan penjarakan fizikal yang telah ditetapkan. KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik." "Calon Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan Tahun 2021 Duduki Peperiksaan September Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Calon yang telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) tahun 2021 di 201 pusat peperiksaan di seluruh negara, bakal menduduki peperiksaan tersebut pada 21 September hingga 23 September 2021. Menurut Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan media pada hari ini, seramai 8077 calon bakal menduduki peperiksaan SPMU bagi tahun 2021. Bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan tersebut berjalan dengan lancarnya, seramai 1568 petugas peperiksaan telah dilantik.\nSelain itu, semua calon diingatkan agar merujuk jadual waktu peperiksaan untuk mendapatkan maklumat seperti tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.\nMenurut LP lagi, calon juga mesti membawa bersama-sama Dokumen Pengenalan Diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan. Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari portal rasmi LP di http://lp.moe.gov.my.\nSetiap calon hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah yang terkini yang dikeluarkan oleh KPM serta prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan pencegahan penularan wabak COVID-19. Garis panduan tersebut boleh dimuat turun dari portal rasmi KPM di http://www.moe.gov.my." "Kerjasama Strategik KPM-KKM Mempercepat Pelaksanaan Vaksinasi kepada Murid Sekolah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Sebanyak 323 orang murid berusia 16 dan 17 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8 (1) menjadi kumpulan pertama yang menerima vaksin menerusi tendang mula (kick-off) Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja pada pagi ini.\nMenurut Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin, PICK Remaja merupakan program vaksinasi untuk kumpulan remaja berusia 12 hingga 17 tahun.\n\u201cProses vaksinasi pada pagi ini berlangsung dengan teratur dan tersusun. Murid perlu mendaftar, diambil suhu badan, diikuti dengan sesi kaunseling dan persetujuan sebelum dibenarkan menerima suntikan vaksin,\u201d ujar beliau selepas melakukan lawatan bersama-sama Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin di SMK Putrajaya Presint 8 (1). Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kesihatan 1 yang juga Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A), Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali.\n\nTambah beliau, \u201cKementerian Pendidikan Malaysia akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan CITF bagi membantu pendaftaran murid sekolah untuk tujuan vaksinasi serta mengenal pasti sekolah untuk dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) kepada murid sekolah. KPM turut membantu dalam menyediakan petugas dan keperluan logistik bagi tujuan ini.\u201d\n\u201cKerjasama strategik KPM dengan KKM ini pastinya dapat mempercepat pelaksanaan vaksinasi kepada murid sekolah,\u201d kata YB Datuk Dr. Radzi menerusi hantaran di Facebook beliau.\nKPM komited melakukan yang terbaik." "Dewan Masyarakat Mendapat Perhatian Ketua Menteri Sabah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu, Sabah \u2013 Majalah Dewan Masyarakat, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendapat perhatian YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor kerana majalah tersebut dilihat berupaya menyampaikan wadah dan isu semasa berkaitan dengan masyarakat. DBP melalui Dewan Masyarakat Bil. 09/2021 mengambil inisiatif menampilkan analisis mengenai Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi menghuraikan perubahan landskap sosioekonomi di negeri itu.\nDewan Masyarakat keluaran itu bukan sahaja memaparkan wawancara eksklusif editornya, Aninah Janang dari Bahagian Majalah, Jabatan Penerbitan DBP bersama-sama YAB Datuk Seri Panglima Hajiji yang membicarakan hala tuju pembangunan Sabah dan harapan beliau untuk membawa Sabah ke fasa SMJ, malah sebanyak tujuh orang penulis dalam pelbagai bidang dan kepakaran turut menganalisis pelbagai pencapaian dan strategi pembangunan yang sedang dan akan dibangunkan di negeri Di Bawah Bayu ini.\nTujuh orang penulis tersebut ialah Profesor Madya Dr. Ramzah Dambul \u2013 \u201cSMJ: Pelan Pembangunan Bertunjangkan Jati Diri dan Teknologi\u201c; Dr. Lee Kuok Tiung \u2013 \u201cDatuk Seri Panglima Hajiji Noor: Figura Politik yang Disegani\u201c; Datuk Joniston Bangkuai \u2013 \u201cPembangunan Sektor Pelancongan Teras Utama Pelan Strategik SMJ\u201c; Dr. Rafiq Idris \u2013 \u201cPotensi Ekonomi di Bawah Inisiatif SMJ\u201c; Dr. Asri Salleh \u2013 \u201cSabah Maju Jaya: Jalan ke Hadapan\u201c; Dr. Lai Che [email\u00a0protected]. Latip \u2013 \u201cCOVID-19: Pendekatan Komunikasi Mempercepat Imuniti Kelompok di Sabah\u201c; dan Hasyuda Abadi \u2013 \u201cSabah Maju Jaya\u201c (puisi).\nMaka itu, YAB Datuk Seri Panglima Hajiji pada petang ini bersetuju menerima kunjungan hormat DBP yang diketuai oleh Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar bersama-sama pegawai DBP, Puan Aninah Janang dan Encik [email\u00a0protected] Awang. Dalam pertemuan itu, YAB Ketua Menteri melahirkan kepercayaan yang tinggi terhadap bahan terbitan DBP, khususnya dalam konteks penggunaan bahasa Melayu yang baik. Atas kepercayaan ini, sebanyak 20 ribu naskhah Dewan Masyarakat Bil. 09/2021 telah ditempah oleh Pejabat Ketua Menteri Sabah dan akan diedarkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah yang akan bersidang esok dan beberapa institusi di negeri Sabah.\nKita mempercayai DBP sebagai gedung bahasa Melayu yang baik. Oleh itu, majalah ini akan kita edarkan kepada beberapa institusi di negeri ini,\u201d ujarnya ketika membelek kulit Dewan Masyarakat Bil. 09/2021 yang memaparkan tajuk \u201cPerjalanan Menuju Sabah Maju Jaya." "Semangat Juang Masyarakat Perlu untuk Memartabatkan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) telah menganjurkan sesi Wawancara Sofa Putih pada pukul 1.00 tengah hari tadi di Dewan Tun Hussein Onn, Aras 2, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dengan topik menarik \u201cBahasa Melayu: Kukuh di Dalam, Meluas di Luar\u201c.\nMemulakan sesi wawancara tersebut, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBhg. Prof. Emeritus Dato\u2019 Dr. Teo Kok Seong menyatakan bahawa semangat dan momentum perjuangan bahasa Melayu pada hari ini berada pada skala lapan daripada 10 kerana kebanyakan masyarakat begitu teruja dengan gagasan bahasa Melayu sebagai bahasa negara selain daripada bahasa kedua Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) sebagaimana yang telah dilafazkan oleh YAB Perdana Menteri.\nSemangat perjuangan ini penting untuk diwartakan sebagai satu dasar negara \u00a0dan tidak cukup sekadar hanya menjadikannya sebagai agenda negara sahaja. Kita perlu mencontohi negara jiran kita, Indonesia yang mewartakan kewajipan kepada setiap Presiden negara tersebut mengantarabangsakan bahasa Indonesia pada tahun 2009.\nTambahnya lagi, Malaysia tidak mempunyai budaya terus membina sesuatu agenda yang diangkat tetapi hanya budaya terus ganti yang menjadikan negara ini masih kekal di takuk lama dan tidak akan ke mana-mana.\nBeliau juga berkata, masyarakat tidak ada jati diri atau identiti sehingga membiarkan bahasa Melayu dilacurkan. Situasi ini juga menunjukkan bahawa Malaysia gagal untuk membentuk sebuah negara bangsa kerana hanya 80 peratus yang mengangkat martabat bahasa Melayu dan selebihnya bukan sahaja tidak peduli bahkan menentang perjuangan tersebut.\nSebagai warganegara, pemartabatan dan pemerkasaan bahasa Melayu sepatutnya bersifat sukarela dan bukannya seperti sekarang ini yang lebih berbentuk paksaan. Bahkan, kita juga boleh melihat ada nya bantahan daripada tokoh-tokoh Melayu sendiri tentang gagasan bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Situasi ini merupakan bukti kegagalan kita kerana orang Melayu sendiri menentang pemartabatan bahasa Melayu.\nMenurut beliau, aspek ketulenan bahasa Melayu sangat penting dalam usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu di negara ini. Kebanyakan masyarakat negara ini kekurangan jati diri dan lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa lain berbanding dengan menggunakan bahasa Melayu tulen. Contohnya, kebanyakan masyarakat pada hari ini lebih gemar menggunakan perkataan \u201cdeposit\u201c berbanding dengan perkataan \u201ccengkeram\u201c, \u201ciftar\u201c berbanding dengan \u201cberbuka puasa\u201c dan lain-lain lagi.\nMenutup perkongsiannya, beliau turut menyatakan bahawa sikap orang Melayu sebagai penutur jati bahasa Melayu itu perlulah diubah. Beliau mengemukakan teori, iaitu orang Melayu Malaysia bukan kelompok etnobahasa dan berharap agar teori tersebut adalah salah. Hal ini kerana etnobahasa akan bermati-matian memperjuangkan bahasanya dan tidak sesekali memperlekeh dan mempersendakan bahasa tetapi sikap ini tidak ada dalam diri orang Melayu di negara ini.\nMenurut Pegawai Khas Perdana Menteri, iaitu YBrs. Dr. Kamarul Zaman Haji Yusoff yang merupakan ahli panel kedua pula menyatakan bahawa perjuangan memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan walaupun hanya pada skala lapan daripada 10, tetapi beberapa komponen penting telah terlibat dalam perjuangan tersebut. Antaranya termasuklah Pejabat Perdana Menteri, Menteri Luar Negeri, para penjawat awam dan lain-lain lagi.\nJadi, saya melihat polisi pemerkasaan bahasa Melayu tidak akan menjadi perkara yang bersifat sementara sahaja seperti yang dibimbangi oleh segelintir masyarakat. Walau bagaimanapun, kita memerlukan perancangan yang lebih teliti dan rapi berkaitan dengan setiap polisi untuk memperkasakan bahasa Melayu.\nBeliau juga bersetuju dengan pandangan YBhg. Prof. Emeritus Dato\u2019 Dr. Teo Kok Seong supaya agenda ini menjadi satu dasar dan diinstitusikan agar jika berlakunya perubahan pada peringkat kepimpinan negara, usaha pemartabatan bahasa Melayu tidak akan terkesan.\nKita juga perlu mewujudkan insentif bagi menjadikan bahasa Melayu menarik untuk digunakan oleh masyarakat selain hukuman yang akan dikenakan sebagaimana cadangan dalam pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nBeliau juga berkata, antara resolusi dalam simposium bahasa Melayu yang berlangsung baru-baru ini ialah jika kerajaan benar-benar mahu merealisasikan pemartabatan bahasa Melayu, kesilapan mesti diubah dan dibetulkan.\nWalaupun terdapat segelintir orang Melayu yang menentang agenda pemartabatan dan pemerkasaan Melayu, jumlahnya kecil dan penentangan tersebut juga mampu menyemarakkan lagi semangat perjuangan pihak yang ingin memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu.\nMenurut beliau, segala kritikan yang disuarakan akan diambil perhatian termasuklah perkara yang menyatakan bahawa bahasa Indonesia sewajarnya menjadi bahasa rasmi ASEAN berbanding dengan bahasa Melayu. Dalam simposium yang berlangsung baru-baru ini juga, para pembentang dari negara Indonesia turut mengakui dan bersetuju bahawa bahasa Indonesia berasal daripada bahasa Melayu dan menyanggah kenyataan awal oleh seorang menteri dari negara tersebut.\nKita mungkin perlu meminda akta pertubuhan bagi memastikan setiap pertubuhan yang ingin didaftarkan di negara kita selepas ini diwajibkan menggunakan kata singkatan dalam bahasa Melayu. Bagi akronim pula, kementerian yang menggunakan bahasa Inggeris juga boleh dipinda melalui aspek pentadbiran.\nTambahnya lagi, segala langkah untuk pemartabatan dan pemerkasaan bahasa Melayu ini telah dikumpulkan dalam resolusi simposium bahasa Melayu yang berlangsung baru-baru ini. Beliau turut menyatakan bahawa akan ada perubahan besar dan drastik dalam usaha memartabatkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu selepas ini namun masih belum boleh diumumkan secara terbuka kepada umum. Pemartabatan dan pengantarabangsaan bahasa Melayu sebenarnya usaha jitu YAB Perdana Menteri dan memerlukan sokongan daripada masyarakat.\nMengakhiri sesi Wawancara Sofa Putih, pemudah caranya, Tuan Sayed Munawar Sayed Mustar berkata, beliau kurang gusar tentang orang Melayu yang bersifat etnobahasa kerana melihat bahasa ini elemennya budaya. Jika budayanya baik, maka orang Melayu menjadi etnobahasa yang baik. Orang Melayu perlu diperkukuh institusinya dengan pemimpin yang bagus dan budaya yang betul untuk menjadikan bangsa yang paksinya etnobahasa." "Melestarikan Kegembiraan Ketika Bekerja\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBagi seorang pekerja, perasaan gembira dan bermotivasi untuk bekerja amat penting sebagai faktor pendorong untuk bekerja atau tidak.\nElemen motivasi sangat signifikan dalam kalangan tiga kelompok pekerja, iaitu golongan yang baru bekerja, mereka yang sudah berada dalam kumpulan jawatan pertengahan, dan yang tidak mempunyai banyak peluang naik pangkat ataupun meningkatkan perkembangan diri.\nPakar psikologi telah menjalankan pelbagai jenis kajian bagi mengenal pasti apa-apa yang mendorong seseorang pekerja gembira dan bermotivasi di tempat kerja. Kajian ini telah mewujudkan pelbagai teori motivasi.\nSemua teori motivasi ini mempunyai matlamat yang sama, iaitu menerangkan sebab manusia melakukan apa-apa bentuk tindakan.\nSebenarnya, terlalu banyak faktor yang mempengaruhi tingkah laku dan prestasi seseorang pekerja. Secara umumnya, hal ini bergantung kepada keperluan individu itu sendiri dan keperluan itu dapat dibahagikan kepada beberapa peringkat. Seperti kata Atan Long (1976) dan Maslow (1954), keperluan manusia itu adalah berperingkat-peringkat. Suatu peringkat keperluan yang lebih tinggi tidak mungkin diperolehi sebelum keperluan yang lebih rendah peringkatnya dipenuhi terlebih dahulu. Pada peringkat yang paling rendah, terdapat keperluan hayat ataupun keperluan fisiologi. Setelah keperluan ini dipenuhi, barulah keperluan lain seperti keselamatan, diikuti oleh keperluan kasih sayang, seterusnya peringkat penghargaan kendiri atau penghormatan diri, dan yang paling tinggi ialah keinginan untuk memenuhi potensi diri.\nMencipta Rasa Gembira\nPersoalannya, bagaimanakah hendak mencapai suatu tahap yang mampu memenuhi potensi diri dalam bekerja? Hal ini sebenarnya dapat dicapai dengan cara mencipta perasaan gembira dalam bekerja terlebih dahulu.\nPun begitu, bagaimana pula cara untuk mencipta perasaan gembira ketika bekerja, lebih-lebih lagi jika persekitaran tempat kerja itu sendiri tidak mampu mendorong kepada motivasi pekerja?\nPada hakikatnya, pilihan mahu mendorong diri sendiri ataupun tidak terletak pada diri individu itu sendiri. Jika ingin mendorong diri sendiri, yang perlu disematkan dalam minda ialah: \u201cAku buat semua ini adalah untuk diri aku.\u201d\nJika berniat melakukan sesuatu untuk diri sendiri, jawapannya adalah dengan terus belajar.\nMenurut kajian yang dilakukan oleh Linkedln terhadap 2400 profesional seperti yang dilaporkan dalam HR Asia bilangan 40 (2020) tentang apakah yang membuatkan mereka gembira di tempat kerja? Hasil maklum balas mendapati faktor utama ialah pekerjaan itu sendiri dan peluang untuk mereka belajar dan menambah potensi diri. Lagi banyak yang dipelajari, semakin bertambah keyakinan diri dan perasaan gembira akan timbul. Pada masa yang sama, apabila ditanya mengapa seseorang meninggalkan pekerjaan itu, hal yang demikian adalah kerana mereka tidak mendapat peluang untuk belajar tanpa melihat kepada medium pembelajaran yang dilalui sama ada melalui pembacaan, mengikuti seminar, bengkel atau apa-apa sahaja aktiviti yang meningkatkan kemahiran dan kerjaya. Malah, kajian yang sama mendapati mereka yang menjalani proses pembelajaran berterusan lebih gembira, produktif dan lebih berjaya daripada mereka yang tidak berpeluang belajar.\nMengubah Rutin \nSetelah kita mengetahui bahawa proses pembelajaran berterusan akan menyumbang kepada wujudnya rasa gembira, kita juga akan mendapati bahawa dengan terus belajar sesuatu yang baharu akan mengubah cara kita berfikir.\nApabila cara berfikir kita berubah, langkah pertama yang boleh dilakukan adalah dengan menukar rutin harian di tempat kerja. Lihat kebiasaan kita dalam melaksanakan kerja. Lakukanlah apa-apa sahaja yang mengubah rutin harian. Semangat yang timbul daripada perasaan kelainan itu membantu meningkatkan tenaga dalaman yang dapat membendung rasa letih dan kemurungan. Menurut Pakar Psikologi dari Harvard, Carson (2010), dalam bukunya yang bertajuk Your Creative Brain, beliau menjelaskan otak perlu dirangsang untuk melakukan pelbagai perkara tidak hanya mengikut kebiasaan supaya daya kognitif (berfikir, menaakul, menganalisis, membentuk konsep, menyelesaikan masalah) dapat ditingkatkan.\nMencipta Kelainan \nCuba perhatikan senarai tugas kita. Memang, tugasan merupakan perkara biasa yang sering dilakukan secara berulang-ulang. Kemudian, fikirkan penambahbaikan yang dapat kita laksanakan untuk proses kerja kita itu. Fikirkan kelainan. Tidak salah melakukannya dengan meniru idea daripada sekian banyak idea yang telah wujud di dunia ini.\nLakukanlah dengan menggunakan kreativiti sendiri melalui contoh yang ada di sekeliling kita. Dengan kemajuan teknologi terkini, sumber maklumat semuanya di hujung jari. Pasti lebih banyak idea dapat dijana. Lakukanlah hal ini sekalipun hasilnya sedikit kerana menurut seorang saintis dari Persuasive Tech Lab di Stanford University, B.J. Fogg (2019) dalam bukunya bertajuk Tiny Habits: The Small Changes that Change Everything, beliau berkata, otak tidak membezakan antara kejayaan besar mahupun kecil. Otak hanya mengesan adanya frekuensi kejayaan. Kejayaan yang tercetus akan memberikan rangsangan kegembiraan kepada diri seseorang.\nPerasaan Asyik dalam Bekerja\nDengan melakukan rutin yang baharu akan menambahkan keasyikan dalam bekerja. Keasyikan akan timbul setelah kita gembira dengan apa-apa yang kita lakukan. Namun demikian, keasyikan bekerja bukanlah bermaksud ketagihan bekerja sehingga menjadikan kita seorang gila kerja atau workaholic kerana perkara ini bukanlah sesuatu yang positif bagi diri seseorang.\nTerlalu taasub untuk bekerja boleh mengganggu kesihatan mental. \u00a0Menurut Adam Alter (2017) penulis buku Irresistible, beliau menyenaraikan enam ramuan penting yang menyebabkan seseorang bermotivasi sehingga timbul perasaan asyik dengan kerja yang dilakukan:\nAsyik bekerja kerana di mindanya tersemat kata-kata, \u201csikit lagi hendak siap. Mesti selesaikan!\u201d\nAsyik bekerja kerana berasa teruja setiap kali kerja yang dilaksanakan mendapat maklum balas positif sama ada daripada ketua, rakan sekerja mahupun pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan daripada kita.\nAsyik bekerja kerana muncul rasa penuh semangat dalam diri apabila hasil kerja yang dilaksanakan itu memperlihatkan impak positif yang memberikan manfaat bukan sahaja kepada diri sendiri malah orang lain.\nAsyik bekerja kerana kerja yang dilaksanakan itu semakin serasi dengan jiwa dan banyak perkara baharu yang dipelajari sepanjang proses melaksanakannya.\nAsyik bekerja kerana rasa teruja untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Setiap kali berjaya menyelesaikan masalah, setiap kali itulah kepuasan diri tercapai.\nAsyik dengan kerja kerana adanya sistem sokongan yang baik sama ada di pejabat mahupun di rumah.\nJusteru, tanyalah pada diri apakah kita gembira dengan pekerjaan yang kita lakukan sekarang? Jika semua kaedah telah dilaksanakan namun tidak memberikan keberhasilan positif untuk diri kita, maka sudah tiba masanya kita menilai semula majikan, pekerjaan, dan seluruh kerjaya kita. Mungkin bukan kerjaya yang salah, tetapi kita yang tidak sesuai untuk kerjaya itu. Apa-apa pun, pilihan tetap atas diri sendiri dan jika kita inginkan perubahan untuk diri sendiri, maka perbetulkan niat dan percayalah, minda akan turut berubah selepas itu." "Pengoperasian Sekolah Selepas Dua Minggu Peralihan Negeri ke Fasa Baharu PPN\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Merujuk pengumuman YAB Perdana Menteri Malaysia pada 22 September 2021 berkaitan dengan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri Johor, Pahang dan Negeri Sembilan yang berkuat kuasa pada 24 September 2021, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menetapkan bahawa jika sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM mengikut ketetapan fasa baharu akan dilaksanakan selepas dua minggu dari tarikh peralihan ke fasa tersebut.\nSehubungan dengan itu, KPM pada hari ini memaklumkan pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi negeri Johor akan bermula pada 10 Oktober 2021 berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa Dua PPN.\nMenurut KPM, \u201cpembukaan institusi pendidikan di bawah KPM bagi negeri Pahang pula kekal pada 4 Oktober 2021 berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa Dua PPN. Memandangkan Pahang akan beralih ke Fasa Tiga pada 24 September 2021, maka pengoperasian institusi pendidikan di negeri tersebut akan beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa Tiga PPN bermula pada 11 Oktober 2021.\u201d\nJelas KPM lagi, \u201cbagi Negeri Sembilan, pembukaan institusi pendidikan bawah KPM kekal pada 4 Oktober 2021 berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa Tiga PPN. Memandangkan Negeri Sembilan akan beralih ke Fasa Empat pada 24 September 2021, maka pengoperasian institusi pendidikan di Negeri Sembilan berdasarkan Fasa Empat PPN hanya akan bermula pada 18 Oktober 2021.\u201d\nDalam pada itu, KPM turut memaklumkan bahawa Majlis Keselamatan Negara telah memberikan kelulusan untuk murid kelas tingkatan enam semester dua dan kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level) di negeri Fasa Satu hadir ke institusi pendidikan tanpa penggiliran.\nOleh itu, pengoperasian institusi pendidikan di negeri Kedah akan bermula pada 10 Oktober 2021 untuk kumpulan murid tersebut. Murid lain kekal mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah.\n\u201cSusulan pengumuman Pulau Langkawi sebagai kawasan gelembung pelancongan pada 16 September 2021, pengoperasian institusi pendidikan bermula pada 3 Oktober 2021 adalah berdasarkan ketetapan negeri Fasa Empat PPN,\u201d jelas KPM dalam satu kenyataan media.\nTambah KPM, \u201cbagi institusi pendidikan bawah KPM di negeri lain yang tidak terlibat dengan peralihan fasa pada 24 September 2021, pengoperasian institusi pendidikan adalah berdasarkan ketetapan fasa sedia ada seperti mana yang diumumkan oleh KPM pada 12 September 2021.\u201d\nInstitusi pendidikan bawah KPM dalam kenyataan media ini merujuk sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru. Hal ini juga terpakai kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.\nPun begitu, KPM juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri.\nKPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik." "Pelan Komprehensif Pembukaan Sekolah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Umum mengetahui bahawa sekolah akan dibuka semula pada 3 Oktober 2021. Hal ini sudah tentu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat khususnya ibu bapa. Oleh hal yang demikian, Agenda Awani membawakan Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin untuk menjawab dan memberikan pencerahan yang lebih jelas terhadap kebimbangan dan persoalan yang ditimbulkan. Rancangan ini dibawakan secara langsung oleh Astro Awani malam tadi.\n\nMenurut YB Datuk Dr. Radzi Jidin, antara pendekatan yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam membuat keputusan untuk membuka semula sekolah termasuklah memantau keadaan semasa dengan mengambil kira kadar vaksinasi di samping mengadakan sesi libat urus untuk mendapatkan pandangan daripada semua pihak dan melihat pendekatan yang terbaik.\nBeliau meringkaskan bahawa secara umumnya, negeri yang berada pada Fasa Satu, iaitu negeri Kedah, sekolah tidak akan dibuka. Adapun begitu, permohonan dibuat untuk membenarkan satu kumpulan sahaja kembali ke sekolah, iaitu murid tingkatan enam (Semester 2) yang akan menduduki peperiksaan pada akhir bulan Oktober. Bagi negeri yang berada pada Fasa Dua, murid tidak akan ke sekolah kecuali murid tingkatan enam (Semester 2) dan Murid Berkeperluan Khas (MBK) peringkat rendah dan menengah. Negeri Fasa Tiga pula melibatkan murid prasekolah selain daripada MBK dan murid kelas peperiksaan sahaja, iaitu murid tingkatan lima dan enam. Bagi negeri Fasa empat, dua minggu pertama akan hanya dibuka untuk murid kelas peperiksaan, kemudian diikuti oleh peringkat-peringkat yang lain. Maklumat secara menyeluruh berkaitan perkara ini boleh dirujuk dalam portal KPM.\nMenurut beliau lagi, status pengoperasian sekolah apabila berlaku perubahan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi sesebuah negeri akan diberi tempoh sekurang-kurangnya dua minggu untuk sekolah beroperasi mengikut fasa yang baharu. Tambah beliau, ibubapa tidak perlu risau kerana kenyataan tentang pembukaan sekolah bagi setiap negeri akan dimaklumkan terlebih dahulu sebelum sekolah dibuka.\n\nYB Menteri Kanan Pendidikan turut menjelaskan tentang sistem penggiliran yang akan dijalankan apabila sekolah dibuka nanti.\n\u00a0\nRasionalnya sistem penggiliran ini ialah sebilangan murid sahaja yang akan terdedah dengan risiko jika berlaku jangkitan. Selain itu, guru juga lebih mudah untuk mengawal dan memantau murid kerana kehadiran di sekolah hanya 50 peratus sahaja. Oleh itu, isu kesesakan akan dapat ditangani dengan lebih mudah.\nTerdapat garis panduan dan penambahbaikan yang dibuat oleh KPM untuk memastikan murid kembali ke sekolah dalam keadaan selamat, termasuklah dengan memastikan pengudaraan di bilik darjah berada dalam keadaan yang paling optimum di samping mewajibkan semua yang berada di kawasan sekolah memakai pelitup muka. KPM juga akan menyediakan beberapa set kit ujian air liur untuk kegunaan pihak sekolah.\nBeliau turut memberikan pesanan kepada guru yang enggan divaksin, \u201capa yang membezakan perkhidmatan guru dengan perkhidmatan lain ialah guru\u00a0 berdepan dengan anak-anak kita, sebab itu kami di pihak kementerian melihat hal ini sebagai satu perkara yang amat penting. Nasihat dan kaunseling sudah pun diberikan. Sementara menunggu keputusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam tentang tindakan selanjutnya, guru yang tidak divaksin tidak akan dibenarkan mengajar murid secara bersemuka. Namun begitu, demi perkhidmatan, terdapat pendekatan yang perlu diambil. Jika terpaksa menukarkan mereka bagi memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran tidak terjejas, kita akan laksanakan.\u201d\nBerkenaan sesi persekolahan yang akan dilanjutkan sehingga bulan Februari 2022, YB Datuk Dr. Radzi turut menjelaskan bahawa satu tempoh diperlukan untuk menilai tahap penguasaan murid dengan menggunakan sedikit ruang bagi memperkasakan kefahaman murid sebelum mereka naik ke kelas seterusnya. Oleh itu, KPM membuat ketetapan pada bulan Januari dan Februari 2022 murid kekal di kelas masing-masing. Hal ini adalah satu cara untuk guru mengenal pasti kekuatan dan kelemahan setiap murid.\nIbu bapa perlu faham tentang fasa, sekolah akan dibuka mengikut fasa. KPM telah ikhtiarkan yang terbaik. Kami mencari pendekatan dari seluruh dunia bagi memastikan anak-anak kembali ke sekolah dengan keadaan yang selamat." "KPM Mencari Titik Tengah demi Masa Depan Pelajar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2013 YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus menyantuni Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Langkawi, Kedah dalam usaha mengembalikan semula keyakinan pelajar untuk kembali ke sekolah tatkala jangkitan wabak COVID-19 masih menular.\nDalam Sesi Libat Urus Bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru\u00a0pada pagi tadi,\u00a0YB Datuk Dr. Radzi menitikberatkan sokongan ibu bapa dalam pelaksanaan pembukaan sekolah yang akan bermula pada 3 Oktober mengikut ketetapan fasa baharu bagi negeri\u00a0masing-masing.\nMenurut YB Datuk Dr. Radzi, pembukaan sekolah merupakan satu daripada langkah untuk mengurangkan tekanan emosi yang dihadapi oleh anak-anak berikutan dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam tempoh yang lama.\nMelalui pembelajaran secara bersemuka, anak-anak lebih mudah untuk berkongsi permasalahan mereka dengan rakan-rakan dan guru-guru, sama ada berkaitan dengan pembelajaran mahupun masalah lain. Perkara ini secara tidak langsung dapat memberikan ruang kepada mereka untuk mengurangkan tekanan emosi yang dihadapi melalui interaksi sosial.\nTambah beliau, sekolah merupakan sebahagian daripada kehidupan anak-anak dan menjadi platform terbaik untuk mereka meningkatkan produktiviti pembelajaran, disiplin dan tatacara hidup, terutamanya dalam menghadapi kebiasaan baharu menuju era endemik COVID-19.\nPelaksanaan pembukaan sekolah ini juga mengambil kira pelbagai aspek, seperti latar belakang pelajar dan kemudahan kelengkapan semasa PdPR. Hal ini disebabkan terdapat segelintir pelajar yang tidak mempunyai kemudahan Internet dan peranti untuk pelibatan diri mereka di dalam kelas secara maya.\n\u201cSelain itu, bebanan guru dan ibu bapa yang terpaksa berkongsi peranti dengan anak-anak dan menguruskan PdPR anak-anak di rumah juga dapat dikurangkan apabila sesi persekolahan kembali seperti sedia kala.\nTambahan pula, kadar pengambilan vaksinasi di Langkawi telah mencapai lebih daripada 80 peratus. Oleh hal yang demikian perkara ini lebih mendorong KPM untuk membuka semula persekolahan agar tiada isu keciciran pendidikan dalam kalangan pelajar.\nKPM sentiasa komited mencari titik tengah bagi menyelesaikan isu ini demi masa depan pelajar. Pada masa sama, Murid Berkeperluan Khas (MBK) juga diberikan perhatian secara keseluruhannya supaya mereka dapat menyesuaikan kembali diri dengan persekitaran pembelajaran di sekolah.\n\u201cAntara tujuan lain, sistem persekolahan akan dijadikan sebagai tempat atau medium untuk memupuk jati diri yang jitu dalam kalangan pelajar, di samping menerapkan perasaan cinta akan ilmu.\nMenyedari akan cabaran dan risiko ketika pandemik ini, YB Datuk Dr. Radzi menegaskan bahawa pihak sekolah perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekalkan kelompok yang selamat tanpa menjejaskan pengajaran dan kesihatan pelajar serta semua kakitangan sekolah." "Langkawi Menyambut Baik Pembukaan Sekolah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2013 Kebanyakan negeri telah berpindah ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Langkawi yang akan beralih ke pada fasa tersebut telah mula membuat persediaan bagi pembukaan sekolah pada 3 Oktober 2021.\nBerdasarkan keperluan tersebut, YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan bersama-sama Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan para pegawai KPM sekali lagi turun padang melihat persediaan untuk menyambut kehadiran pelajar yang akan kembali ke sekolah.\nMelalui sidang media yang diadakan di Kolej Vokasional Langkawi pada petang ini, YB Datuk Dr. Radzi menegaskan bahawa ruang fizikal seperti sistem pengudaraan yang baik di dalam kelas adalah penting untuk keselamatan pelajar, di samping bilik kuarantin bagi mengasingkan pelajar sekiranya bergejala.\nSelain aspek fizikal, YB Datuk Dr. Radzi menyatakan bahawa pelajar yang akan kembali ke asrama perlu menjalani tiga kali saringan COVID-19 untuk memastikan mereka selamat berada di sekolah. Misalnya, mereka perlu menjalani ujian air saliva atau air liur sebelum mendaftar masuk ke asrama serta pada hari keenam dan keempat belas semasa mereka berada di asrama. Sekiranya pelajar didapati bergejala, pelajar tersebut akan segera diasingkan demi keselamatan warga asrama.\nBukan hanya pelajar, KPM juga akan memastikan guru, kakitangan kebersihan, keselamatan dan petugas dewan makan juga perlu dipastikan telah divaksinasi.\n\u201cJika ada guru yang tidak mahu divaksin, KPM akan mengambil tindakan untuk menarik mereka keluar dan menempatkan mereka di tempat atau di negeri yang lain supaya warga sekolah tersebut adalah dalam kalangan mereka yang telah divaksin,\u201d ujar YB Datuk Dr. Radzi.\nKPM sebelum ini telah memberikan nasihat kepada hampir 415 000 orang guru tentang keperluan vaksinasi. Walau bagaimanapun, daripada jumlah tersebut, lebih kurang 2000 guru masih lagi enggan menjalaninya. KPM memandang serius akan perkara ini kerana hal ini boleh menjejaskan pendidikan dan kesihatan warga sekolah.\nBerdasarkan persediaan rapi yang dilaksanakan oleh KPM sebagaimana yang dinyatakan tersebut, rata-rata ibu bapa menyambut baik pembukaan sekolah yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat. Hal ini dapat dilihat apabila terdapat dalam kalangan ibu bapa yang bersemangat menghantar anak-anak mereka untuk divaksinasi ekoran daripada pelaksanaan vaksinasi dalam kalangan pelajar yang berumur antara 12 hingga 17 tahun.\n\u201cWalaupun demikian, KPM akan terus memantau penerimaan vaksinasi dalam kalangan ibu bapa dan anak-anak sebelum ada ketetapan berkaitan dengannya dibuat. KPM juga akan mengambil pendekatan yang sewajarnya jika perlu,\u201d tambah beliau lagi.\nSelain itu, pembukaan sekolah disambut baik oleh ibu bapa kerana mengambil kira keperluan pelajar tingkatan 6 semester 2 bagi kohort 2021 yang bakal menduduki peperiksaan pada akhir Oktober ini. Jumlah pelajar tingkatan 6 semester 2 di Kedah pada masa ini adalah sebanyak 2705 orang. Kehadiran mereka ke sekolah memberikan peluang kepada pelajar untuk menyelesaikan perkara tertentu yang memerlukan penjelasan lanjut daripada guru secara bersemuka." "KPM Tinjau Persiapan Sekolah di Pulau Tuba\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Sabtu lalu telah mengadakan tinjauan ke sebuah sekolah menengah dan tiga buah sekolah rendah di Pulau Tuba, bagi meneliti persiapan dan persediaan sekolah yang bakal diadakan secara bersemuka pada 3 Oktober ini.\nRombongan Menteri Kanan Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Datuk Dr. Radzi Jidin memulakan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkawi Pulau Tuba diikuti dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Chempedak dan SK Pulau Tuba sebelum ke SK Selat Bagan Nyior.\nMenerusi hantaran di Facebook, YB Dr. Radzi menyatakan, beliau mendapati sekolah tersebut telah bersedia, kecuali beberapa aspek yang perlu ditambah baik, khususnya dalam konteks pengudaraan di bilik darjah dan bilik khas.\nDalam satu hantaran lain bertarikh 26 September, beliau berkata, \u201csemua pihak perlu memahami dengan jelas tatacara pengoperasian sekolah yang telah ditetapkan seperti penggiliran dan kehadiran murid serta Prosedur Operasi Standard (SOP).\u201d\nLawatan KPM ke Langkawi diteruskan dengan mengadakan tiga sesi libat urus pengoperasian sekolah bersama-sama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru sekolah rendah dan menengah serta guru besar dan pengetua dari 29 sekolah di seluruh Pulau Langkawi pada Ahad lalu.\nSesi tersebut diadakan bagi memperjelas dan memperincikan lagi perkara berkaitan dengan pengoperasian sekolah dan hal berbangkit yang memerlukan penjelasan lanjut daripada pihak KPM.\nPengoperasian sekolah di Pulau Legenda ini dilaksanakan mengikut ketetapan negeri dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) memandangkan Langkawi merupakan kawasan gelembung pelancongan." "Pengoperasian Institusi Pendidikan Berdasarkan Fasa PPN\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merujuk kepada pengumuman YAB Perdana Menteri Malaysia pada 29 September 2021 berkaitan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri Selangor, Melaka, Kedah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berkuat kuasa pada 1 Oktober 2021 telah menetapkan bahawa jika sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM mengikut ketetapan fasa baharu yang akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan ke fasa tersebut.\nSehubungan dengan itu, pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi negeri Selangor, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya kekal pada 4 Oktober 2021 berdasarkan ketetapan pengoperasian bagi negeri Fasa 2 PPN. Hal ini melibatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK), Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK).\nHal ini juga melibatkan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), murid Tingkatan 6 Semester 2, International Baccalaureate Diploma (IBD) Tahun 2, Program Prauniversiti Semester 3 di Sekolah Sukan Malaysia (SSM) dan murid kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBDP).\nBermula pada 1 Oktober 2021, negeri Selangor, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan beralih ke Fasa 3 PPN. Justeru pengoperasian institusi pendidikan di negeri-negeri berkenaan mengikut ketetapan Fasa 3 PPN akan bermula pada 18 Oktober 2021. Hal ini melibatkan pertambahan kemasukan murid lain meliputi murid prasekolah, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya/sekolah harian/sekolah swasta, IBD, Prauniversiti SSM serta kelas peperiksaan antarabangsa yang lain.\nPembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi negeri Kedah pula kekal pada 10 Oktober 2021 untuk murid kelas Tingkatan 6 Semester 2 dan kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level). Memandangkan negeri Kedah akan beralih ke Fasa 2 pada 1 Oktober 2021, pengoperasian institusi pendidikan merangkumi Kolej Vokasional berdasarkan ketetapan pengoperasian negeri Fasa 2 PPN hanya akan bermula pada 17 Oktober 2021.\nSelain itu, susulan pengumuman Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berhubung peralihan Zon Selatan negeri Sarawak ke Fasa 3 berkuat kuasa 1 Oktober 2021, pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi zon ini kekal pada 4 Oktober 2021 berdasarkan ketetapan pengoperasian bagi negeri Fasa 2 PPN. Pengoperasian institusi pendidikan di Zon Selatan negeri Sarawak berdasarkan ketetapan negeri Fasa 3 PPN hanya akan bermula pada 18 Oktober 2021.\nMerujuk pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) oleh Majlis Keselamatan Negara di beberapa kawasan, semua institusi pendidikan bawah KPM yang berada dalam kawasan PKPD adalah ditutup sepanjang tempoh PKPD berkuat kuasa. Semua murid di kawasan PKPD perlu mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).\nInstitusi pendidikan bawah KPM dalam kenyataan media ini turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.\nKPM menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuklah institusi pendidikan di bawah kerajaan negeri." "Mendidik dengan Jiwa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBergelar guru pendidikan khas, adakah menjadi impian atau pilihan yang terakhir?\nIroninya, siapakah yang sanggup menjadi guru kepada murid berhingus tidak tahu baca tulis; murid hiperakrif yang sukar dikawal; murid yang suka tantrum; murid yang susah bercakap; murid yang payah faham; murid yang mempunyai pelbagai kekurangan dan ketidakupayaan. Menjadi seorang guru pendidikan khas sudah tentu tidak mudah, memerlukan pelbagai pengetahuan dan kemahiran serta tahap kesabaran yang tinggi. Namun begitu, jika sudah berada dalam dunia pendidikan khas, sebenarnya banyak yang jatuh hati sehingga mahu setia menjadi guru pendidikan khas.\nKunci Sabar\nMenjadi sebahagian daripada warga pendidikan khas memerlukan guru menjadi lebih sabar, tabah, penyayang dan bermotivasi. Sebilangan besar guru pendidikan khas menyatakan kesediaan mereka untuk berkhidmat lebih lama dalam pendidikan khas. Mereka juga sanggup mengorbankan masa, tenaga dan wang untuk membina generasi pelajar berkeperluan khas yang seimbang dan berdikari. Pendidikan khas mendidik guru sentiasa tabah dalam menghadapi cabaran. Murid pendidikan khas juga sentiasa menjadi aspirasi guru.\nKejayaan yang telah dicapai oleh atlet paralimpik negara dalam sukan bertaraf dunia merupakan contoh terbaik yang membuka mata banyak pihak bahawa setiap kekurangan yang golongan istimewa ini miliki hadir dengan suatu kekuatan yang mendorong mereka untuk turut sama menggapai impian.\nMurid Berkeperluan Khas\nPendidikan khas merupakan salah satu cabang pendidikan yang diamalkan di Malaysia khusus untuk orang kurang upaya (OKU) atau disebut sebagai Murid Berkeperluan Khas (MBK) dalam konteks persekolahan. Pendidikan khas melibatkan penempatan MBK khusus dalam pelbagai kategori seperti masalah penglihatan (BL), gangguan pendengaran (BD) dan masalah pembelajaran (BP). Semua kategori MBK ini diletakkan dalam tiga program pendidikan khas, iaitu Sekolah Pendidikan Khas (SPK), Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Program Pendidikan Inklusif (PPI).\nKetiga-tiga program ini mempunyai ciri-ciri tertentu dalam memberikan perkhidmatan kepada MBK. Sebagai contoh, Sekolah Pendidikan Khas (SPK) lebih tertumpu kepada penempatan MBK untuk kategori BL dan BP, manakala untuk PPKI dan PPI lebih tertumpu kepada penempatan untuk kategori BP. Oleh sebab pertambahan jumlah MBK yang didaftarkan dari tahun ke tahun, SPK telah dibuka untuk MBK kategori BP.\nSetiap guru pendidikan khas sentiasa komited dalam melaksanakan tugas mendidik MBK dengan penuh kasih sayang. Tidak kira betapa teruknya kategori atau kekurangan MBK, guru sentiasa memberikan yang terbaik dalam mendidik mereka. Pada dasarnya, pendidikan berkesan untuk MBK ialah pendidikan yang bermakna, iaitu tidak hanya bergantung kepada sukatan pelajaran. Pendidikan yang bermakna bagi mereka merupakan pendidikan yang memberikan mereka peluang yang sama untuk hidup berdikari dan bermasyarakat.\nKejayaan golongan OKU dalam bidang sukan dan akademik telah membuka mata banyak pihak untuk memberikan lebih perhatian kepada MBK dan tahap pendidikan mereka. Mantan Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr. Maszlee Malik juga pernah menyatakan bahawa pendidikan khas selalu ada di hatinya dan meletakkan pendidikan khas antara perkara penting bagi kementerian itu. Begitu juga dengan kenyataan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim setelah mengadakan lawatan ke salah sebuah SPK di Johor Bahru baru-baru ini. Beliau menyatakan keprihatinannya terhadap pendidikan khas dan juga pendidikan untuk rakyat Johor.\nPerhatian dari para pemimpin ini telah menjadikan pendidikan khas dipandang tinggi oleh masyarakat. Jika sebelum ini tidak semua masyarakat mengetahui tentang kewujudan pendidikan khas di Malaysia, kini masyarakat lebih peka terhadap kehadiran OKU dan juga murid berkeperluan khas dalam kelompok masyarakat. Guru pendidikan khas juga dilihat lebih bersemangat dalam melaksanakan tanggungjawab mendidik MBK di sekolah. Nilai cinta dan keprihatinan selalu terpancar dan mereka menyatakan bahawa mereka jatuh cinta dengan dunia pendidikan khas.\nUntuk menjadi warga pendidikan khas, seseorang harus menempatkan diri mereka dalam keadaan siap siaga dengan kesibukan pendidikan khas. Bukan hanya keperluan akademik, tetapi kelayakan pengurusan, penglibatan masyarakat, sentiasa dahagakan ilmu berkaitan dengan pendidikan khas, kesediaan fizikal dan mental serta sedia bertanggungjawab menggalas keperluan dunia pendidikan khas.\nLima faktor yang dikenal pasti menjadi pegangan warga pendidikan khas termasuklah nilai kasih sayang terhadap MBK; perubahan dalam sistem pendidikan khas; MBK yang unik dan menghiburkan; hubungan baik dengan MBK; dan sokongan daripada pelbagai pihak. Berdasarkan pemerhatian penulis, jelas sekali bahawa guru pendidikan khas mengutamakan pendidikan dan pembelajaran MBK sama ada di dalam atau di luar sekolah. Guru bukan sahaja mahukan yang terbaik untuk MBK di sekolah malah selepas waktu sekolah. Mereka berpendapat bahawa MBK berhak mendapat ilmu dan bimbingan yang terbaik. Mereka juga mengakui bahawa lebih banyak perhatian harus diberikan kepada MBK berbanding dengan murid normal lain di sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana MBK bergantung sepenuhnya terhadap pembelajaran bersama-sama guru. MBK dianggap seperti anak sendiri yang memerlukan bimbingan, perhatian dan kasih sayang. Kekurangan yang dihadapi oleh MBK juga antara faktor yang membuat guru berasa tersentuh dan memahami bahawa mereka perlu dibantu semaksimum mungkin.\nMelihat kepada MBK pada dasarnya bukan tertumpu mengenai kekurangan tetapi tentang kelebihan terpendam. Setiap dari mereka dikurniakan bakat dan ciri istimewa yang tersendiri. Beberapa perkara penting perlu ditambah baik jika ingin melihat pendidikan khas terus maju. Antara perubahan tersebut berkaitan dengan sukatan pelajaran, penilaian dan juga kepemimpinan dalam pendidikan khas.\nPada hakikatnya, mendidik MBK bukanlah tugas mudah yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Mendidik MBK memerlukan keprihatinan dan kecintaan yang mendalam terhadap keperluan MBK. Berbekalkan semangat dan rasa tanggungjawab itulah guru yang terlibat tidak pernah jemu memberikan yang terbaik kepada MBK dalam penyampaian ilmu. Keunikan MBK, pembelajaran mereka dan hubungan erat antara guru dengan MBK menjadikan kecintaan para guru terhadap pendidikan khas tidak pernah luntur." "Menteri Kanan Pendidikan Meninjau Pembukaan Sekolah secara Bersemuka di Terengganu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDUNGUN \u2012 Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin berkata, setelah meninjau pembukaan sekolah pada hari pertama di beberapa buah sekolah, secara keseluruhannya sekolah dapat beroperasi dengan baik mengikut tatacara dan garis panduan yang ditetapkan. Murid juga dilihat cukup bersemangat kembali semula ke sekolah untuk bertemu dengan rakan dan guru mereka.\nSebanyak 47 ribu orang pelajar di Kelantan, Terengganu dan Pulau Langkawi, Kedah memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada hari ini berdasarkan ketetapan yang telah dibuat oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Beliau berkata demikian setelah melakukan lawatan kerja dan meninjau sesi pembukaan sekolah di Kuala Terengganu, Marang dan Dungun, Terengganu pada hari ini.\nTambah beliau, setelah membuat tinjauan lebih daripada 10 buah sekolah di Terengganu sejak hari Sabtu, beliau mendapati sistem pengudaraan di dalam bilik darjah dipatuhi dengan baik. Hampir kesemua kelas mencapai tahap pengudaraan yang optimum. Murid dan guru juga sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan memakai pelitup muka di dalam kelas.\n\u201cDengan kerjasama daripada semua pihak, kita sama-sama berusaha dan berdoa agar sesi persekolahan secara bersemuka ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur,\u201d ujar YB Datuk Dr. Radzi.\nMenurut beliau lagi, \u201cSistem penggiliran dipraktikkan melibatkan separuh daripada pelajar mengikuti sesi pembelajaran secara bersemuka dan separuh lagi secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Pendekatan ini membolehkan penjarakan fizikal dilaksanakan dengan baik, boleh mengelakkan kesesakan di sekolah dan kita berharap apabila pulang nanti, proses penyuraian berlaku dengan teratur dan lancar.\u201d\nYB Datuk Dr. Radzi juga berkata, \u201cKPM buat masa ini memutuskan untuk menetapkan sesi persekolahan tahun 2021 dilanjutkan hingga Januari dan Februari tahun hadapan. Keputusan ini dibuat berdasarkan perbincangan dan penelitian secara mendalam oleh pelbagai pihak. Perkara ini telah dibincangkan dengan pengetua, guru besar, guru, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pakar dan persatuan perguruan di beberapa buah negeri untuk memastikan ketetapan ini\u00a0 mengambil kira pelbagai aspek dan bagi memastikan murid bersedia sebaik mungkin sebelum mereka naik ke kelas berikutnya. Pendekatan ini memberikan ruang yang cukup kepada anak-anak kita untuk diasah dan dipastikan berada pada tahap penguasaan yang terbaik sebelum beranjak ke kelas berikutnya,\u201d ujarnya.\nYB Datuk Dr. Radzi juga sempat meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) untuk golongan remaja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman dan berkata, \u201cHampir kesemua murid tingkatan lima dan tingkatan enam telah divaksin dan sekarang proses pemberian vaksin masih dilaksanakan secara berperingkat mengikut sekolah. Umumnya, pelaksanaan vaksinasi murid tingkatan satu hingga tingkatan lima berjalan dengan baik, cepat dan tersusun; dan pada masa terdekat keseluruhannya akan menerima suntikan vaksin sekurang-kurangnya untuk dos yang pertama.\u201d\nMenyentuh tentang lebih 2000 orang guru yang enggan divaksin, KPM masih meneliti perkara tersebut. KPM telah mengenal pasti sekolah tempat guru tersebut mengajar dan mata pelajaran yang diajar oleh mereka. Guru berkenaan tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka dan mungkin ditukarkan. KPM akan memastikan tiada murid yang terjejas pembelajarannya kesan daripada pertukaran guru tersebut.\nDalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa guru seperti juga penjawat awam yang lain dan\u00a0 mereka mesti akur kepada arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan semua penjawat awam melengkapkan vaksin COVID-19 sebelum 1 November nanti.\n\u00a0\nSekolah yang dilawati oleh YB Datuk Dr. Radzi pada hari ini ialah SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, Sekolah Menengah Agama Marang, SMK Tengku Intan Zaharah, SK Sura, Sekolah Menengah Sains Dungun dan SMK Sura, Dungun, Terengganu. Kunjungan beliau sudah pasti memberikan semangat dan kekuatan kepada para guru dan murid untuk meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka setelah ditangguhkan akibat penularan COVID-19 di negara ini." "\u201cKehadiran murid pada hari pertama pembukaan sekolah amat baik.\u201d \u2013 YB Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Pilah \u2013 Bermula semalam hingga hari ini, hampir semua negeri di seluruh negara memulakan pembukaan semula sekolah secara berperingkat mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) negeri masing-masing, melainkan Johor dan Kedah yang akan membuka sekolah bermula pada 10 Oktober akan datang.\nMenurut Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin, sebanyak 64 ribu pelajar terlibat dengan pembukaan sekolah di negeri Kumpulan B pada hari ini. Beliau melakukan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan bersempena dengan pembukaan semula sekolah secara bersemuka pada hari ini.\nDalam lawatan tersebut, YB Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin menyatakan bahawa kehadiran murid di sekolah sama seperti pada Jun 2020 dengan menyaksikan kehadiran murid Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) amat baik dan hampir semua murid peperiksaan ini hadir.\n\u201cPelajar kelihatan gembira, terutamanya mereka yang bakal menghadapi peperiksaan kerana pembukaan sekolah memudahkan mereka membuat persediaan. Kehadiran mereka cukup baik, termasuklah murid prasekolah serta murid berkeperluan khas dan penerimaan ibu bapa juga cukup baik,\u201d ujarnya.\nTambah beliau, dengan mengambil kira hari pertama persekolahan, kehadiran murid amat memberangsangkan. Walaupun masih ada ibu bapa yang berasa masih belum sesuai dan belum bersedia untuk menghantar anak-anak ke sekolah pada ketika ini, sekolah tidak akan mengambil sebarang tindakan disiplin ke atas mereka.\nMenteri Kanan Pendidikan turut menyatakan bahawa peratusan kehadiran perlu dilihat beberapa hari selepas pembukaan sekolah.\n\u201cMemandangkan hari ini baru hari pertama persekolahan, purata kehadiran belum dapat disimpulkan untuk dijadikan sebagai penunjuk data,\u201d ujar YB Datuk Dr. Radzi.\nDalam tinjauan tersebut, beliau turut menegaskan bahawa aspek pengudaraan yang baik di dalam bilik darjah dan di bilik guru perlu diberikan penekanan memandangkan prosedur operasi standard (SOP) pengudaraan masih belum dipatuhi secara optimum.\n\u201cMelalui kaedah pembukaan sekolah secara penggiliran ini, kami sentiasa berpesan kepada semua pihak yang terlibat dengan pembukaan sekolah agar mengamalkan SOP dengan baik.\u201d\nMenurut YB Datuk Dr. Radzi, pendekatan baharu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperlihatkan sekolah dibuka semula dengan kehadiran 50 peratus kapasiti sekolah menerusi pembahagian setiap kelas kepada dua kumpulan. Sekolah juga masih perlu membuat kemasukan atau penyuraian secara berperingkat.\n\u201cKemasukan secara berperingkat ini boleh kita lihat secara terperinci dan mendalam. Jika ada sebarang kekurangan, kita boleh lakukan penambahbaikan. KPM juga akan menjalankan sesi libat urus bagi membincangkan secara terperinci mengenai isu yang berkaitan dengan pengoperasian semula sekolah secara bersemuka.\u201d\n\u201cBerdasarkan keadaan semasa, itulah kaedah yang terbaik bagi pelajar untuk bersedia memulakan persekolahan secara bersemuka,\u201d tambah beliau.\nWawancara bersama-sama murid SMK Tunku Kurshiah." "Kemusykilan tentang Kata \u201cMana\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata mana tergolong sebagai subgolongan kata nama, iaitu kata ganti nama tanya. Oleh itu, kata mana dapat menduduki gatra subjek atau predikat ayat.\u00a0 Penggunaan kata mana dalam ayat adalah seperti yang berikut:\n1a.\u00a0 Mana/yang awak pilih? (susunan biasa)\n1b.\u00a0 Yang awak pilih/mana? (susunan songsang)\n\u00a0\n2a.\u00a0 Yang awak pilih/mana? (susunan biasa)\n2b.\u00a0 Manakah/yang awak pilih?\u00a0\u00a0\u00a0 (susunan songsang)\nDalam kelompok ayat 1, kata mana menduduki gatra subjek ayat dengan pola FN (Frasa Nama) + FK (Frasa Kerja). Dalam kelompok ayat 2 pula, kata mana menduduki gatra predikat ayat dengan pola FN (Frasa Nama) + FK (Frasa Nama).\nKata ganti nama tanya mana bertukar menjadi kata ganti nama tak tentu mana-mana apabila digandakan. Dalam hal ini, kata mana-mana boleh juga diikuti kata nama.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\n3a.\u00a0 Pilihlah mana-mana yang awak suka.\n3b.\u00a0 Pilihlah mana-mana novel yang awak suka.\n\u00a0\nOleh sebab kata mana merupakan subgolongan kata nama, kata itu tidak perlu diiringi oleh kata hubung relatif yang untuk berfungsi sebagai kata nama. Sila lihat contoh yang berikut:\n4a.\u00a0 *Yang awak pilih yang mana?\n4b.\u00a0 *Yang manakah yang awak pilih?\n\u00a0\nKata mana dapat digandingkan dengan sesetengah kata tanya untuk menghasilkan frasa sendi nama tanya. Sila lihat contoh yang berikut:\n5a.\u00a0 Dia tinggal di mana?\n5b.\u00a0 Di manakah dia tinggal?\n\u00a0\n6a.\u00a0 Dia berasal dari mana?\n6b.\u00a0 Dari manakah dia berasal?\n\u00a0\n7a.\u00a0 Dia hendak ke mana?\n7b.\u00a0 Hendak ke manakah dia?\nDalam kelompok ayat 5, kata ganti nama tanya mana bergandingan dengan sendi nama di untuk menghasilkan frasa sendi nama tanya di mana. Dalam kelompok ayat 6, kata ganti nama tanya mana bergandingan dengan sendi nama dari untuk menghasilkan frasa sendi nama tanya dari mana. Dalam kelompok ayat 7 pula, kata ganti nama tanya mana bergandingan dengan sendi nama ke untuk menghasilkan frasa sendi nama tanya ke mana.\nSelain itu, fungsi kata mana sebagai ganti nama tanya bererti kata itu tidak boleh hadir dalam ayat penyata. Kesilapan ini sering berlaku apabila kata mana digandingkan dengan kata hubung relatif yang. Sila lihat contoh yang berikut:\n8a.\u00a0 *Itulah rumah yang mana dibelinya.\n8b.\u00a0 Itulah rumah yang dibelinya.\n\u00a0\n9a.\u00a0 *Itulah kerja berkualiti seperti mana yang diharapkan.\n9b.\u00a0 Itulah kerja berkualiti yang diharapkan.\n9c.\u00a0 Itulah kerja yang berkualiti seperti yang diharapkan.\n\u00a0\n10a.\u00a0 *Dia akan menangis bila mana dia berasa sedih.\n10b.\u00a0\u00a0 Dia akan menangis apabila dia berasa sedih.\n\u00a0\nFrasa sendi nama tanya dengan kata mana juga tidak boleh digunakan dalam ayat penyata. Sila lihat contoh yang berikut:\n11a. *Itulah tempat di mana dia tinggal.\n11b.\u00a0 Itulah tempat tinggalnya.\n11c.\u00a0 Itulah tempat kediamannya.\n11d.\u00a0 Itulah tempat yang didiaminya.\n\u00a0\n12a.\u00a0 *Saya tidak tahu ke mana dia hendak pergi.\n12b.\u00a0 Saya tidak tahu tentang destinasinya (tempat tujuannya).\n\u00a0\n13a.\u00a0 *Saya akan menyiasat dari mana dia mendapat maklumat itu.\n13b.\u00a0 Saya akan menyiasat sumber maklumatnya.\n\u00a0\nKata mana dapat didahului oleh kata nama dalam sesuatu ayat. Sila lihat contoh yang berikut:\n12a.\u00a0 Yang awak pilih baju mana?\n12b.\u00a0 Baju manakah yang awak pilih?\n\u00a0\nKata mana juga boleh ikuti oleh kata bilangan kardinal satu. Sila lihat contoh yang berikut:\n13a.\u00a0 Yang awak pilih mana satu?\n13b. \u00a0Mana satukah yang awak pilih?\n\u00a0\nApabila kata mana ditambah kata penegas -lah atau -tah, yang terhasil ialah ayat tanya retorik yang tidak perlu dijawab. Sila lihat contoh yang berikut:\n14a.\u00a0 Manalah saya tahu tentang jawapannya?\n14b.\u00a0 Manatah saya dapat memujuknya?\n\u00a0\nBagi ayat 14a, rangkaian kata \u201cmanalah saya tahu\u201d menegaskan hakikat bahawa \u201csaya memang tidak tahu\u201d. Dalam ayat 14b, rangkaian kata \u201cmanatah dapat\u201d menegaskan hakikat \u201ctidak dapat\u201d. Mesejnya lebih tegas daripada ayat yang berikut:\n15a.\u00a0 Bagaimanakah saya tahu tentang jawapannya?\n15b.\u00a0 Bagaimanakah saya dapat memujuknya?" "KPM Fokus Pembangunan Pendidikan dan Naik Taraf Sekolah Daif di Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Sasaran mempercepat pembinaan sekolah daif di negeri Sarawak menjadi fokus utama lawatan kerja Timbalan Menteri Pendidikan II, YB Datuk Mohamad Haji Alamin. Beliau berkata, walaupun terdapat kelewatan dalam pembinaan projek menaik taraf sekolah daif di Sarawak disebabkan oleh pandemik COVID-19, namun hal ini bukan alasan untuk tidak menggerakkan pembinaan sesuatu projek mengikut jadual yang telah ditetapkan, iaitu siap dalam masa 22 bulan.\nKatanya, permintaan untuk menaik taraf sekolah daif kategori enam dan tujuh di seluruh negara sentiasa ada dan usaha menaik taraf akan dilaksanakan secara berperingkat. Ujarnya lagi, setakat tahun 2019 sehingga sekarang, sebanyak 186 projek sekolah daif telah diluluskan di Sarawak dengan peruntukan berjumlah RM1.579 bilion. Pada tahun 2021, pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mendapat kelulusan sebanyak 59 projek dengan kos berjumlah RM402.71 juta dan semua projek masih dalam peringkat prapembinaan. Beliau menyatakan demikian dalam sidang media selepas lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendam, Kota Samarahan, Sarawak.\nMengulas mengenai pembaikan sistem pendidikan di Sarawak, YB Datuk Mohamad berkata, liputan jaringan Internet akan dipertingkatkan selain daripada tenaga pengajar diberikan fokus untuk mengendalikan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian. Terdahulu beliau turut mengadakan lawatan ke SK Kuap dan SK Sambir bagi memantau projek menaik taraf sekolah daif.\nPada hari kedua lawatan, beliau turut membuat tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Thomas dan SK Pendidikan Khas Taman Matang Jaya, Kuching. Beliau berkata, operasi pembukaan sekolah pada hari pertama di Sarawak sangat memuaskan. Dalam tinjauan di SMK St. Thomas, beliau mendapati sebanyak 86.2 peratus kehadiran\u00a0murid di sekolah yang melibatkan murid tingkatan enam untuk sesi pertama persekolahan, manakala sebanyak 69 peratus kehadiran murid di SK Pendidikan Khas Taman Matang Jaya, Kuching.\nBeliau juga sangat berpuas hati dengan persiapan sekolah yang bersedia menerima kemasukan murid dengan mematuhi segala garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjamin keselesaan murid dan tenaga pengajar. Beliau menyeru ibu bapa agar membenarkan anak-anak hadir ke sekolah kerana pihak sekolah sudah mengambil semua langkah yang cukup praktikal untuk keselamatan murid di sekolah.\nMengulas lanjut mengenai penutupan dua buah sekolah di bahagian Lawas, beliau mendapat maklumat penutupan tersebut disebabkan oleh tiga orang guru didapati positif COVID-19. Jelas beliau, JPN dan KKM akan memantau dua buah sekolah ini, iaitu SMK Merapok dan SMK Tusan dengan lebih terperinci bagi memastikan langkah yang sewajarnya untuk proses pembukaan sekolah. Beliau juga melaporkan bahawa sebanyak dua juta remaja telah diberi suntikan vaksin setakat ini. Ini merupakan langkah yang sewajarnya bagi mencapai imuniti kelompok untuk kembali merancakkan pendidikan dan ekonomi di negara ini. Selain itu, beliau juga melaporkan dalam tempoh ini, KPM dalam proses pengambilan seramai 18 ribu orang guru untuk menampung kekurangan guru khususnya di Johor, Sarawak dan Sabah." "Wakaf Buku dan Pertandingan Perpustakaan Sekolah Menengah Mewarnai Program Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat WP Labuan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHasrat untuk terus menanamkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat diperluas kepada pelbagai peringkat meliputi kanak-kanak, remaja, pelajar dan dewasa daripada pelbagai lapisan umur melalui kerjasama bersepadu dengan kementerian, jabatan serta agensi lain.\nDi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, pelbagai program telah diaturkan dan digerakkan sejak Februari 2021.\u00a0 Sebanyak 19 program telah dilaksanakan secara dalam talian melibatkan pelbagai kategori sasaran dan digiatkan dengan kerjasama pelbagai pihak.\nSemua kegiatan dilaksanakan menggunakan kaedah yang bersesuaian dengan kebiasaan baharu.\u00a0 Dari segi penyebaran maklumat, penyertaan, penerimaan bahan, pelaksanaan program dan penghakiman dibuat secara dalam talian. Meskipun menempuh sedikit cabaran seperti masalah talian, namun hal ini dapat diatasi dan yang paling utama, kegiatan yang dianjurkan dapat disebarluaskan ke seluruh negara dan mendapat sambutan.\nDi bawah program Wakaf Buku DBP, sebanyak empat buah sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan telah dipilih menerima sumbangan buku, iaitu SK Layang-Layangan, SK St. Anne, SMK Pantai dan SM St. Anne.\nSementara itu, Pertandingan Perpustakaan Sekolah Menengah pula mencatatkan johan SMK Rancha-Rancha, naib johan SM St. Anne, tempat ketiga Kolej Vokasional dan tiga sagu hati masing-masing SMK Pantai, SMK Taman Perumahan Bedaun dan SMK Lajau.\nTonton Majlis Penyerahan Wakaf Buku dan Pengumuman Keputusan Pertandingan Perpustakaan Sekolah Menengah WPL di sini." "Kemasukan Murid ke Tingkatan Satu dan Empat bagi Sekolah Khusus Perlu Melalui PKSK\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi tujuan pemilihan murid untuk kemasukan ke tingkatan satu dan empat Sekolah Khusus.\nDalam satu kenyataan pada hari ini, KPM menjelaskan bahawa Sekolah Khusus ialah Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD) mulai tahun 2021.\nKPM turut memaklumkan, untuk kemasukan ke tingkatan satu dan empat Sekolah Khusus tahun 2022, permohonan boleh dibuat secara dalam talian di sini (tingkatan satu) dan di sini (tingkatan empat), bermula pada 10 Oktober 2021 hingga 15 November 2021. Permohonan ini melibatkan SBP (tingkatan satu dan tingkatan empat); SMKA (tingkatan satu dan tingkatan empat); SMT (tingkatan empat); KV (tahun satu KV); dan MTD (tingkatan empat).\n\u201cSemua pemohon boleh membuat semakan pusat pentaksiran bagi tingkatan satu dan\u00a0 tingkatan empat secara dalam talian mulai 1 Disember 2021. Pentaksiran akan bermula dari 17 Januari 2022 hingga 27 Januari 2022 bagi tingkatan satu dan 7 Februari 2022 hingga 17 Februari 2022 bagi tingkatan empat,\u201d tambah KPM.\nMenurut KPM lagi, \u201ckomponen yang akan ditaksir ialah kecerdasan insaniah (20 peratus), kecerdasan intelektual (70 peratus) dan artikulasi penulisan (10 peratus). Keputusan pemilihan murid akan diumumkan pada 15 Mac 2022.\u201d\nYang berikut merupakan syarat permohonan kemasukan ke Sekolah Khusus:" "Meniti Senja pada Usia Emas\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIbarat sejadah buruk,\nDipandang lusuh,\nDibuang sayang,\nDisimpan tak sudah.\nBegitulah gambaran persepsi tentang warga emas secara umum. Persepsi begini bukanlah asing dalam masyarakat Malaysia. Walaupun sekali imbas, hal ini seakan-akan membawa maksud yang negatif, namun itulah realiti masyarakat pada hari ini. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.\nFenomena penuaan merupakan kejadian alamiah yang akan berlaku dalam hukum kitaran kehidupan semua hidupan di bumi.\nSecara hukum alamiah, setiap yang hidup pasti mati. Bermula dengan proses kelahiran, membesar, dewasa dan tua pada akhirnya.\nLaporan World Population Ageing 2019 menjelaskan, unjuran warga emas dunia sedang melangkah angka 703 juta individu yang sedang mendaki usia 60 tahun. Anggaran itu berkembang dua kali ganda menjelang tahun 2050 ekoran kualiti kehidupan melalui kemajuan teknologi perubatan di seluruh dunia. Kajian yang diterbitkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meletakkan kewajaran 1.5 bilion warga emas di seluruh dunia sebagai kunci penting penunjuk dunia pada masa hadapan.\nMalaysia juga tidak terkecuali dalam menelusuri fenomena ini. Kajian mengenai kesejahteraan sosial di Malaysia merupakan perkara penting dalam melakar Dasar Warga Emas Negara yang seimbang. Buat masa ini, kadar penuaan di Malaysia berada pada paras 7.0 peratus pada tahun 2020 lalu. Menurut Pengarah Pusat Kajian Kesejahteraan Sosial, Universiti Malaya, Profesor Emiratus Datuk Dr. Norma Mansor, negara ini bakal mempunyai golongan warga emas yang ramai menjelang tahun 2030. Dianggarkan populasi Malaysia yang berusia 65 tahun ke atas akan meningkat dua kali ganda kepada 14 peratus menjelang tahun 2044. Unjuran ini akan meningkat sehingga 20 peratus menjelang tahun 2056.\nBerdasarkan keadaan itu, Malaysia akan diklasifikasikan sebagai negara yang \u201cberusia tua\u201d. Bagaimanapun, selepas tahap ini, pengembangan demografi bakal mengubah status daripada negara tua kepada negara berusia dengan bilangan generasi muda bawah umur 25 tahun bertambah.\nAspek kebajikan dan kelangsungan hidup bagi individu yang bakal menjelang usia emas sebenarnya adalah keutamaan yang perlu difokuskan terutama buat mereka yang berada di ambang 40-an menjelang tahun 2022.\nDua elemen ini merupakan perkara asas dalam membina sokongan sosial kebolehbergantungan bagi menulusuri usia emas yang panjang.\nJusteru, simpanan kukuh persaraan amat penting selain menyediakan keperluan sokongan kesihatan bagi membantu menguruskan rawatan pada usia emas. Hal ini sejajar dengan enam strategi Dasar Warga Emas yang digariskan oleh \u00a0kerajaan dengan menitikberatkan aspek kekeluargaan sebagai tunjang utama dengan toleransi sebagai keperluan bagi mengurangkan jurang generasi melalui slogan \u201cWarga Emas Dihormati, Orang Muda Disayangi\u201d.\nWalau bagaimanapun, proses kebandaran yang semakin berkembang dan melebar ke luar bandar bakal mengubah persepsi ini. Sikap individualistik menjadi ancaman kepada sistem sokongan sosial sedia ada. Tindakan meminggirkan warga emas merupakan ancaman baharu yang boleh menyebabkan ketidakseimbangan jurang generasi melalui persepsi warga emas \u201cmembebankan\u201d bakal berlaku. Keadaan boleh menjadi buruk apabila wujud sebilangan besar warga emas yang bergantung penuh pada ahli keluarga dan jiran tetangga.\nKedudukan kewangan yang tidak stabil menjadi punca utama menyebabkan warga emas dipinggirkan. Mereka yang tidak ada simpanan cukup dengan ekonomi hari tua yang tidak kukuh, bakal terkesan apabila tidak mampu menyara hidup dan kos rawatan hari tua yang semakin tinggi. Hal ini menjadi lebih buruk apabila warga emas sudah tiada upaya untuk mengurus diri sendiri dan terpaksa bergantung pada khidmat orang lain untuk mengurus diri.\nKemunculan pusat jagaan warga emas berbayar pula menuntut yuran untuk diselesaikan. Hal ini secara langsung menjejaskan hubungan kekeluargaan sekiranya ahli keluarga ini berada dalam kategori B40. Impak ini sekali gus menjadi faktor yang menjawab persoalan punca warga emas dipinggirkan. Tidak mustahil, suatu ketika nanti undang-undang warga emas perlu diwujudkan bagi menjamin kelestarian dan kesejahteraan warga emas.\nKajian Penuaaan dan Persaraan Malaysia yang dilakukan oleh Pusat Kajian Kesejahteraan Sosial, Universiti Malaya menjelaskan bahawa warga emas di Malaysia masih percaya untuk bergantung pada ikatan keluarga. Data yang dikumpulkan daripada 5613 orang merangkumi kehidupan peribadi dan pengalaman responden yang berada pada usia 40 ke atas. Dapatan data menjelaskan, 42 peratus responden memberikan sokongan kewangan kepada anak-anak mereka, manakala 48 peratus lagi menerima sokongan kewangan daripada anak-anak. Secara kasar, jumlah sokongan kewangan ini berlangsung dalam jumlah antara RM100 hingga RM150.\nKajian ini juga menunjukkan bahawa lebih banyak responden mendapat sokongan kewangan seiring dengan pertambahan usia. Faktor ikatan kekeluargaan masih menjadi pilihan. Lebih daripada separuh percaya bahawa mereka memerlukan rawatan apabila melangkah umur melebihi 65 tahun. Lebih 80 peratus pula bersetuju bahawa undang-udang harus diwujudkan bagi mewajibkan anak-anak menjaga ibu bapa mereka dengan pertimbangan bahawa kos kesihatan dan rawatan di usia emas akan menjadi tinggi.\nMajoriti responden perlu bergantung pada kemudahan rawatan kesihatan awam yang disediakan oleh institusi kerajaan dan hanya sebilangan kecil daripada mereka mempunyai insurans kesihatan untuk menampung keperluan pada usia senja. Sementara itu, banyak yang tidak mempunyai simpanan hari tua yang mencukupi. Empat daripada 10 orang terpaksa bergantung pada bantuan kerajaan untuk meneruskan kehidupan seharian selepas semua wang simpanan, tabungan dan aset mereka tidak mencukupi ketika menjelang usia persaraan.\nSehubungan dengan itu, cadangan mengenai keperluan kerajaan memberikan insentif merupakan satu pendekatan berjangka panjang yang perlu dilaksanakan. Langkah memperkenalkan insentif kepada pengasuh keluarga bukan sesuatu yang baru. Amalan ini telah dilaksanakan di negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia. Malah, elaun sokongan hari tua dengan rebat potongan cukai pendapatan menjadi amalan yang memberikan impak positif dalam merencanakan dasar warga emas. Semua ini boleh dicapai melalui pengubalan undang-undang yang menentukan perlindungan sosial warga emas.\nTABUNGAN HARI TUA\nSebagai permulaan, insentif untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada \u201corang yang lebih tua\u201d bakal membuka peluang kepada golongan praambang berusia emas, iaitu mereka yang berada antara 40 hingga 59 tahun yang diberhentikan kerja akibat ketidakseimbangan ekonomi ataupun bersara wajib.\n\nSelain itu, perkara ini juga menjadi cahaya baru buat mereka yang sudah melangkau usia emas, untuk bekerja semula bagi mengumpulkan dana baru melalui tabungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Pemberian pelepasan cukai kepada majikan yang menggaji golongan warga emas akan menjadi faktor penggalak untuk pemain industri mempertimbangkan jawatan bersesuaian untuk golongan ini. Insentif sebegini akan meningkatkan produktiviti negara.\nSementara itu, promosi celik kesihatan perlu dibuat bagi membangunkan dan melaksanakan komunikasi berkesan dan pendidikan berstruktur supaya orang ramai dapat meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan keupayaan bertindak berdasarkan faktor penentu, iaitu kesihatan dan ekonomi. Justeru, semua insentif ini perlu digazetkan dalam belanjawan negara untuk mendatangkan impak berkesan.\nUsaha melatih semula warga emas agar sesuai dengan ekonomi digital akan meningkatkan kebolehhasilan untuk mengeluarkan elaun hari tua melalui \u201cBantuan Orang Tua-tua\u201d apabila mencapai usia 70 tahun ke atas. Pengiktirafan terhadap ekonomi penjagaan atau asuhan akan membuka peluang kerjaya baru sejajar dengan keperluan sektor sosial dan penjagaan di Malaysia. Usaha ini perlu dipersiapkan ke arah standard profesionalisme dengan pensijilan kompetensi khidmat penjagaan sosial.\nSejujurnya, persepsi mengenai individu berusia emas perlu berubah seiring kemajuan dunia. Jika dahulu mereka dipandang sebagai tidak produktif, kini usaha mengubah persepsi ini dengan penyediaan latihan akan memperlihatkan permata yang penuh pengalaman bergiat aktif melalui ekonomi digital seiring keperluan semasa. Tiada yang baru tanpa yang lama dan tiada yang tua tanpa golongan muda. Merapatkan jurang generasi dengan pengetahuan baru akan mendayakan produktiviti pelbagai peringkat umur. Buat golongan muda, sediakan payung sebelum hujan. Kukuhkan simpanan sebelum bersara." "Persiapan Rapi Sebelum Pengoperasian Sekolah di Perlis \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar\u2013 Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan lima negeri, iaitu Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah beralih daripada Fasa Tiga ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Isnin lalu.\nMenerusi peralihan fasa tersebut, pengoperasian sekolah di Perlis melibatkan tingkatan 1 hingga tingkatan 4 di peringkat sekolah menengah serta tahun 1 hingga tahun 6 sekolah rendah akan bermula pada 22 November secara penggiliran. Kumpulan A akan memulakan persekolahan secara bersemuka pada 22 November manakala Kumpulan B adalah pada 29 November.\nSehubungan dengan itu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis menitahkan rakyat di Perlis terutamnya guru dan ibu bapa agar membuat persiapan yang menyeluruh sebelum pengoperasian sekolah bermula. Menurut baginda, Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia perlu dipatuhi dalam usaha untuk terus mengekang penularan virus COVID-19 dalam kalangan kakitangan sekolah dan pelajar sebaik-baik sahaja sesi persekolahan secara bersemuka dimulakan secara sepenuhnya.\nPihak sekolah di Perlis hendaklah membuat persiapan awal bagi memastikan persekitaran sekolah sentiasa selamat dan para guru bersedia sepenuhnya untuk pengoperasian institusi pendidikan pada PPN tidak lama lagi.\nHal ini demikian kerana hanya tinggal kurang daripada dua minggu sekolah di Perlis akan beroperasi semula pada Fasa Empat PPN yang melibatkan kehadiran murid tahun 1 hingga tahun 6, kelas peralihan dan tingkatan 1 hingga tingkatan 4.\nDalam membuat persiapan tersebut, baginda memberikan penekanan terhadap kepentingan keadaan pengudaraan yang secukupnya di kawasan sekolah terutamanya di bilik darjah, kawasan sekolah yang perlu sentiasa disanitasi, pemakaian pelitup muka dalam kalangan warga sekolah yang hadir ke sekolah, pengamalan penjarakan fizikal, penyaringan suhu badan dan penyediaan laluan pergerakan murid serta pematuhan peraturan semasa waktu rehat.\nPihak sekolah disarankan memulakan persediaan rapi segera bagi memastikan pembukaan sekolah secara bersemuka sepenuhnya ini berjalan lancar dan warga sekolah, murid-murid serta ibu bapa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.\nTambah Tuanku Raja Muda,\nSelain persiapan awal dan menyeluruh, penubuhan jawatankuasa untuk menguruskan prosedur\u00a0 pencegahan jangkitan COVID-19 di peringkat sekolah juga dapat membantu para pelajar menjalani sesi pembelajaran secara bersemuka dalam persekitaran yang kondusif dan selamat serta mengembalikan semangat untuk hadir secara bersemuka dengan rakan dan guru.\nBagi memastikan pengoperasian sekolah berjalan dengan lancar, baginda juga mengharapkan ibu bapa agar memberikan kerjasama kepada pihak sekolah untuk memastikan kehadiran penuh murid dan pada masa yang sama tidak menghantar murid yang bergejala ke sekolah.\nBaginda bertitah sedemikian selepas berkenan berangkat meninjau projek pembangunan jeti yang sedang dilaksanakan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran di Pengkalan Tok Kuning, Kayang dan kerja-kerja yang berkaitan sempena Program MAIPs Peduli baru-baru ini. Kerja-kerja tersebut melibatkan pengorekan alur masuk dan kemudiannya pembinaan persiaran pejalan kaki dan jeti di situ." "Akademi DBP Lahirkan Tenaga Mahir dalam Bidang Editorial\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pusat Bertauliah Akademi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada hari ini mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Pusat Pembangunan Keilmuan dan Kemahiran Akademi DBP (PPKKADBP) secara dalam talian yang bersiaran menerusi studio siaran langsung media sosial DBP, pada pukul 2.30 petang tadi.\n\n\u00a0\nMajlis yang diadakan buat julung-julung kalinya ini bertujuan untuk memberikan pengiktirafan kepada empat orang penerima SKM Tahap 3 yang mengikuti pengajian di PPKKADBP pada sesi pengajian tahun 2019/2020 dalam bidang editorial. Keempat-empat orang penerima tersebut ialah Nor Syamimi Musa, Muhammad Darwis Nashrulah Anas Chan, Abdul Karim Mohd dan Muhammad Solleh Mahfoz.\nMenerusi ucapan perasmian Majlis Penyampaian SKM PPKKADBP yang disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, beliau berkata, \u201csaya penuh berkeyakinan dan percaya usaha yang dilakukan oleh DBP dalam menyediakan SKM bidang editorial ini juga akan memberikan impak yang tinggi kepada industri penerbitan. Hal ini dikatakan demikian kerana program yang menawarkan peluang latihan kemahiran berorientasikan pekerjaan berasaskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) ini memenuhi kehendak industri semasa.\u201d\nMelalui program ini, 70 peratus tumpuan kepada latihan praktikal dan hanya 30 peratus pendedahan kepada teori.\nDalam Majlis Penyampaian SKM PPKKADBP itu juga, sebanyak 13 orang pegawai DBP dianugerahkan Sijil Operasi Latihan Vokasional (VTO) sekali gus mengiktiraf mereka sebagai tenaga pengajar kemahiran di PPKKADBP.\n\u00a0\nPusat Bertauliah Akademi DBP telah memulakan pengambilan pertama pelajarnya pada tahun 2019. Bagi memenuhi kelayakan menjadi pusat bertauliah, modul pengajaran dan pembelajaran dibangunkan mengikut spesifikasi Kementerian Sumber Manusia, melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan mendapat sokongan kewangan dan kepakaran daripada Bahagian Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan, JPK. Pusat Bertauliah Akademi DBP telah ditauliahkan atas nama PPPKKADBP pada 22 Disember 2016.\nPPKKADBP merupakan institut latihan kemahiran yang pertama ditubuhkan oleh DBP bagi mengendalikan latihan kemahiran dalam bidang penerbitan khususnya editorial. Graduan daripada PPKKADBP dilengkapkan dengan pengetahuan, kemahiran, keyakinan dan sahsiah diri untuk merebut peluang kerjaya dalam sektor penerbitan. Selain itu, mereka juga diterapkan dengan sikap inovasi, kreatif, bermoral dan beretika tinggi, sesuai dengan tugas dan tanggungjawab apabila berada dalam dunia pekerjaan. Hal ini selari dengan wawasan negara ke arah Revolusi Industri 4.0 yang menuntut pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian berpendapatan tinggi." "Selamat Bersara, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Seluruh warga kerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merakamkan ucapan penghargaan atas segala jasa dan sumbangan yang dicurahkan oleh Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran yang bersara wajib pada hari ini.\n\nDalam Majlis Pertemuan Ketua Pengarah Bersama-sama Warga DBP yang dilaksanakan secara hibrid pada pagi ini, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin berkata, \u201csaya bermula dari bawah, iaitu sebagai Pembantu Penyelidik Gred B11, sebelum menjadi Pengarah hingga hari ini. Tidak kira apa-apa juga jawatan kita, antara perkara yang penting dalam pekerjaan ialah nilai kerjasama dan saling menyokong antara satu dengan lain.\u201d\nYBhg. Datuk Abang Sallehuddin mendapat lantikan tetap di DBP bermula pada 1 November 1983 di DBP Cawangan Sarawak dan telah berkhidmat di DBP selama tempoh 37 tahun 11 bulan 15 hari. Sepanjang perkhidmatannya, beliau banyak mengutip pengalaman semasa bertugas di Bahagian Ensiklopedia (1995), Pejabat DBP Wilayah Timur (1999), Bahagian Penerbitan Sastera (2005), Bahagian Komunikasi Korporat (2005), Bahagian Pengembangan Sastera Pelbagai Kaum, Jabatan Sastera (2008), Bahagian Pengembangan Bahasa Pelbagai Kaum, Jabatan Bahasa (2009) dan Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum (2010).\nBeliau juga pernah mengemudi Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera (2010) dan Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera (2016), serta menjadi Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP (2016), sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah DBP pada tahun 2019.\nPersaraan wajib beliau diadakan dalam majlis yang sederhana tetapi amat bermakna dengan penyesuaian mengikut suasana kebiasaan baharu yang turut diraikan oleh pengurusan tertinggi DBP dan seluruh warga kerja DBP.\nBersama-samalah berusaha mengekalkan DBP sebagai institusi yang penting, dan jadikan diri anda sebagai warga kerja yang penting buat DBP.\n\u201cBuat semua staf DBP, lakukan inovasi dan carilah sebanyak mungkin idea baharu,\u201d demikian antara pesanan yang sempat dititipkan oleh Datuk Abang Sallehuddin kepada semua warga kerja DBP." "Memuktamadkan Pengoperasian Semula Sekolah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPandemik COVID-19 telah banyak mengubah landskap dan iklim pendidikan hari ini. Menurut Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), lebih daripada 1.5 bilion murid atau 87 peratus daripada populasi murid di 165 buah negara terjejas akibat penutupan sekolah gara-gara pandemik ini.\nPada April lalu, UNESCO turut menegaskan bahawa sebanyak 1.6 bilion generasi muda termasuk murid tidak dapat bersekolah, manakala mahasiswa tidak dapat meneruskan pengajian di universiti. Lebih menakutkan apabila kajian Bank Dunia melaporkan bahawa sebanyak 72 juta murid daripada 150 buah negara berhadapan dengan ancaman buta huruf atau ketandusan pembelajaran pada usia 10 tahun lantaran tidak boleh membaca dan memahami teks mudah. Oleh itu, Robert Jenkins, Ketua Pendidikan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengingatkan dunia bahawa keutamaan untuk membuka semula sekolah dan mengejar pembelajaran yang tertinggal adalah begitu kritikal.\nDalam mendepani pendidikan pada era pandemik ini, Singapura menyusun sesi persekolahan agar keciciran pembelajaran tidak berlaku. Penggiliran dan pengoperasian sekolah juga disusun di semua institusi secara berperingkat antara pembelajaran bersemuka dengan pembelajaran secara dalam talian. Bahan pembelajaran di rumah turut dibekalkan agar kerisauan ibu bapa dapat dikurangkan, di samping membantu peningkatan pembelajaran anak-anak semasa di rumah.\nDi Australia dan New Zealand pula, sistem pendidikan di kedua-dua buah negara tersebut turut dibuka agar proses pendidikan muridnya tidak terjejas teruk. Bagi menjayakan hal ini, pihak sekolah diberikan kebebasan untuk menyusun proses pengajaran dan pembelajaran, antaranya termasuklah jadual penggiliran, penggabungan kandungan pembelajaran, penyediaan bahan pembelajaran secara dalam talian, dan peningkatan penggunaan sistem Internet agar interaksi dengan ibu bapa berkaitan dengan perkembangan pembelajaran anak dapat dilaksanakan dengan baik. Pelbagai inisiatif pendidikan juga dilaksanakan agar komuniti pendidikan dapat menjalankan tugas dengan lancar dan sempurna.\nDi Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyedari akan implikasi penutupan sekolah sepanjang pandemik COVID-19 ini. Maka itu, KPM berusaha keras untuk membawa warga pendidik dan murid kembali ke sekolah. Sehubungan dengan itu, KPM telah mengadakan sesi libat urus bersama-sama kumpulan pakar bagi menangani isu dan cabaran warga pendidik, selain libat urus dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan murid serta guru di sekolah apabila sesi persekolahan dibuka. Sesuatu yang melegakan kebimbangan masyarakat ialah usaha libat urus melalui sesi dialog pengurusan KPM dengan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), pengetua, guru besar serta para guru turut diadakan bagi mendapatkan pandangan dan memuktamadkan pelan komprehensif pembukaan sekolah. Hasilnya, prosedur operasi standard (SOP) yang sesuai telah dirangka bagi memastikan kelancaran proses pengoperasian sekolah pada awal Oktober yang lalu.\nVaksinasi dalam kalangan murid dan seluruh warga sekolah juga dilaksanakan sebagai langkah berjaga-jaga. Proses vaksinasi terhadap murid berumur 12 tahun ke atas sebelum mereka dibenarkan kembali ke sekolah pastinya meningkatkan lagi keyakinan semua pihak terhadap keputusan pengoperasian semula persekolahan yang diputuskan oleh KPM.\nSebagai kebiasaan baharu dalam sistem pendidikan negara, usaha sebegini merupakan antara inisiatif KPM untuk mendekatkan kembali murid dengan sistem pendidikan negara. Penilaian risiko secara berterusan hendaklah dilaksanakan secara berkala sehinggalah pandemik ini dapat dikekang.\nLangkah ini perlu sebagai jaminan proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dalam situasi yang selesa dan selamat.\nSehubungan dengan itu, semua pihak, iaitu sekolah, murid, ibu bapa dan semua pemegang taruh wajar memastikan SOP sentiasa dipatuhi dalam usaha menyediakan persekitaran yang selamat dan sihat. Walau bagaimanapun, isu utama pembukaan sekolah bukan tertakluk kepada SOP semata-mata, tetapi turut bergantung juga dengan sikap dan kepatuhan individu terhadap garis panduan yang ditetapkan.\n\u00a0\nStrategi KPM\nKPM telah menyediakan garis panduan yang berkaitan dengan pengurusan dan pengoperasian sekolah dalam kebiasaan baharu. Yang pastinya, keputusan pembukaan semula sekolah ini juga merupakan keputusan yang terbaik yang dilakukan oleh KPM. Jaminan KPM bahawa semua murid dijamin selamat apabila berada di sekolah pastinya memberikan kelegaan kepada murid dan ibu bapa.\nPenggiliran murid yang hadir ke sekolah juga perlu dipatuhi bagi memastikan tidak berlaku keciciran pembelajaran. Sebagai contoh, jika di dalam kelas tersebut mempunyai 30 orang murid, murid akan dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu Kumpulan A dan B dengan setiap kumpulan terdiri daripada 15 orang murid. Kumpulan A akan mengikuti pembelajaran secara bersemuka pada minggu pertama, sementara Kumpulan B akan menjalani PdPR dengan bahan pembelajaran yang dibekalkan oleh guru. Minggu berikutnya Kumpulan B akan menjalani pembelajaran secara bersemuka di sekolah, sebaliknya Kumpulan A secara PdPR dan begitulah seterusnya. Pada peringkat awal sudah pasti ibu bapa, murid serta guru akan berhadapan kesukaran bagi membiasakan diri dengan pendekatan ini. Walau bagaimanapun, langkah ini dilaksanakan bagi mengurangkan risiko kadar jangkitan sekiranya berlaku selain mengurangkan kesesakan di sekolah khususnya semasa proses penyuraian murid selepas tamat sesi persekolahan.\nRancangan Pengajaran Tahunan (RPT) juga sudah pasti perlu disusun dan diubah suai semula mengikut kesesuaian kaedah yang disarankan oleh KPM. Namun begitu, pembelajaran secara hibrid dan teradun turut menjadi kaedah dan pendekatan yang terbaik bagi menangani isu sukatan pelajaran. Pastinya pihak sekolah diberikan kelonggaran oleh KPM untuk menentukan kaedah yang terbaik dalam pelaksanaan pengoperasian persekolahan ini agar dapat berjalan dengan sempurna.\nKesan pandemik COVID-19 juga menyebabkan KPM merombak sesi persekolahan semasa. Sesi persekolahan tahun 2021 juga terpaksa dianjak hingga 2 Februari 2022, manakala sesi persekolahan 2022 hanya akan bermula pada Mac 2022. Jadual peperiksaan awam berkemungkinan akan turut berubah dalam takwim persekolahan yang baharu ini.\nMaka itu, semua pihak diharapkan dapat melihat perubahan ini dari sisi yang positif. Hal ini dikatakan demikian kerana guru dan murid bagi kelas peperiksaan sudah tentu akan lebih bersedia kerana mempunyai tempoh masa yang mencukupi sebelum peperiksaan dapat dilaksanakan. Kebimbangan yang sering menghantui ibu bapa dan calon peperiksaan berkaitan dengan fenomena musim tengkujuh pada setiap hujung tahun juga dapat dielakkan jika perubahan jadual sesi persekolahan yang baharu ini dilaksanakan.\nKeputusan pengoperasian sekolah yang dibuat ini memerlukan suatu pendekatan yang komprehensif untuk merangka pelan jangka masa pendek seperti yang diterangkan tadi dan pelan jangka masa panjang yang menuntut penetapan tarikh peperiksaan awam akan datang sekiranya keadaan pandemik COVID-19 masih berterusan.\nPihak sekolah pula perlu merancang takwim aktiviti persekolahan agar selari dengan perubahan sesi persekolahan tersebut. Matlamat pendidikan negara perlu diberikan keutamaan dan diteruskan bagi mengelakkan kesan lain yang lebih besar akibat daripada penutupan sekolah secara berterusan." "Peranan Media Bantu Rancakkan Sektor Pelancongan Langkawi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi\u00a0\u2013 Tidak dinafikan pihak media telah memainkan peranan yang penting dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan di Pulau Langkawi. Hal ini seiring dan amat bertepatan dengan pelancaran projek rintis Gelembung Perjalanan Pelancongan Domestik Langkawi pada 16 September 2021 yang lalu.\nBerucap pada Majlis Makan Malam Bersama Pengamal Media anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Ketua Pegawai Eksektif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Mutalib merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak media atas usaha mereka mengadakan persidangan, mesyuarat dan sebagainya di Langkawi yang secara tidak langsung telah menjadikan gelembung pelancongan di pulau legenda itu mencapai sasaran di luar jangkaan.\nKerjasama media yang memaparkan keindahan dan kelebihan Langkawi telah menambah keyakinan orang ramai untuk datang ke Langkawi bertambah baik.\n\u201cPada bulan September sahaja, jumlah kedatangan pelancong ke Langkawi adalah seramai 3700 orang sehari, dan sebanyak 25 penerbangan sehari. Hal ini hampir menyamai keupayaan maksimum Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi,\u201d katanya.\nMenurut beliau, selepas pembukaan sempadan ini, bilangan feri dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah semakin bertambah dari sehari ke sehari, iaitu melebihi 1000 orang pelancong sehari.\n\u201cJadi kita anggap kerjasama paparan media dan publisiti yang diberikan oleh media telah menyumbang kepada kejayaan sektor pelancongan di Langkawi,\u201d katanya.\nOleh itu, beliau berharap agar usaha dan sokongan semua pihak terutamanya pihak media untuk menjayakan gelembung pelancongan ini akan terus dipererat lagi dari semasa ke semasa." "Ibu Bapa Lega, Anak Teruja\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2013 Pengumuman tentang pembukaan sekolah untuk murid darjah satu, dua dan tiga pada 17 Oktober ini mendapat reaksi yang pelbagai daripada golongan ibu bapa dan murid. Hasil tinjauan sidang editor Majalah e-Dewan Masyarakat mendapati kebanyakan mereka menyatakan rasa gembira dengan berita tersebut.\nIbu kepada tiga orang anak, Nur Izatun Ibrahim berkata, dia sangat gembira kerana anaknya tidak perlu lagi belajar secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).\n\u201cTentu sekali saya seronok apabila mendapat tahu yang sekolah akan dibuka. Walaupun mereka belajar di rumah, tetapi suasananya tidak sama dengan belajar secara bersemuka. Saya memang memantau anak-anak belajar di rumah, tetapi jika di sekolah mereka lebih mudah bertanya jika tidak faham. Masalah talian Internet juga menjadi kekangan jika belajar di rumah,\u201d katanya.\nMengenai persiapan barangan persekolahan, Izatun berkata, dia hanya menggunakan kelengkapan sekolah yang sedia ada memandangkan sesi persekolahan hanya berbaki beberapa bulan sahaja lagi.\nSementara itu, seorang bapa, Mohd Hasbi Hareh pula berkata dia amat lega kerana risau akan pembelajaran anak-anak akan terjejas apabila belajar secara dalam talian.\n\u201cPdPR ini amat merisaukan saya. Saya dan isteri tidak dapat memantau sepenuhnya pembelajaran anak-anak kerana saya bekerja dan isteri pula sibuk mengurus hal-hal lain. Jadi bila sekolah dah dibuka saya berasa sangat lega dan amat bersyukur,\u201d katanya melahirkan rasa lega.\nUntuk menjaga keselamatan anaknya daripada pandemik COVID-19, Hasbi dan isteri akan menyediakan bekal setiap hari dan memastikan anaknya mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak sekolah.\nBagi murid tahun dua, Aqib Rayyan dia tidak sabar untuk ke sekolah untuk berjumpa dengan kawan-kawan dan cikgu.\n\u201cAqib nak pergi sekolah. Di sekolah seronok sebab Aqib dapat jumpa kawan-kawan. Aqib pun dah lama tak jumpa cikgu, dah rasa rindu,\u201d katanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Seri Lagenda.\nBegitu juga dengan Nur Batrisyia Abadi Abdul Mukmin, murid tahun tiga dari sekolah yang sama. Katanya, dia sudah lama menunggu untuk ke memakai pakaian sekolah dan pergi sekolah seperti biasa.\n\u201cDah lama tak pakai baju sekolah, jumpa kawan-kawan dan belajar di dalam kelas sama-sama. Tak sabar rasanya nak jumpa mereka,\u201d katanya dengan nada gembira." "Perihal \u201cTiada\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKonsep \u201ctiada\u201d, \u201ctidak ada\u201d atau \u201ctanpa\u201d dalam bahasa Melayu dapat kita ungkapkan dengan pelbagai cara.\u00a0 Ada kalanya kita berbuat demikian dengan menggunakan kata tunggal, dan ada kalanya kita menggunakan imbuhan. Dalam hal ini, kata atau bentuk yang mendukung makna \u201ctiada\u201d biasanya berkaitan dengan kata pinjaman atau konsep pinjaman.\nKata hampa bererti tiada. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a.\u00a0 Proses menampi padi dapat menyingkirkan padi hampa.\n1b.\u00a0 Dia menyimpan air panas di dalam kelalang hampa gas.\nDalam ayat 1a, padi hampa bererti \u201cpadi yang tidak bernas atau tidak berisi\u201d. Dalam ayat 1b, kelalang hampa gas ialah kelalang yang kosong daripada sebarang jisim, iaitu vacuum flask dalam bahasa Inggeris.\nKata bebas juga ada kalanya bererti \u201ctiada\u201d atau \u201ctanpa\u201d. Kata bebas ini bererti free dalam bahasa Inggeris. Sila lihat contoh yang berikut:\n2a.\u00a0 Dia menggunakan peranti bebas tangan.\n2b.\u00a0 Pulau Labuan ialah pelabuhan bebas cukai.\n2c.\u00a0 Itulah kawasan bebas asap rokok.\n2d.\u00a0 Di kawasan itu ada telefon laluan bebas tol.\nDalam ayat 2a, rangkaian kata bebas tangan bererti hands-free. Dalam ayat 2b, pelabuhan bebas cukai ialah free (tax-free) port. Dalam ayat 2c, kawasan bebas asap rokok ialah smoke-free zone. Dalam ayat 2d pula, telefon/laluan bebas tol ialah toll-free telephone atau toll-free lane.\nKata tanpa juga dapat mendukung maksud \u201ctiada\u201d atau \u201cdengan tiada\u201d. Maksud kata tanpa ini sama dengan akhiran -less dalam bahasa Inggeris.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\n3a.\u00a0 Dia menggunakan khidmat bayaran tanpa tunai.\n3b.\u00a0 Itulah pejabat tanpa kertas.\n3c.\u00a0 Masyarakat Malaysia akan menjadi masyarakat tanpa tunai.\n3d.\u00a0 Kita berada dalam zaman dunia tanpa sempadan.\nDalam ayat 3a, rangkaian kata bayaran tanpa tunai bererti cashless payment. Dalam ayat 3b, pejabat tanpa kertas bererti paperless office. Dalam ayat 3c, masyarakat tanpa tunai bererti cashless society, manakala dalam ayat 3d, dunia tanpa sempadan bererti borderless world.\nKata sifar juga bererti \u201ctiada\u201d. Kata ini sama erti dengan kata zero dalam bahasa Inggeris. Sila lihat contoh yang berikut:\n4a.\u00a0 Pengangguran sifar wujud di negara itu.\n4b.\u00a0 Jarang-jarang inflasi sifar akan berlaku.\n4c.\u00a0 Ketua jabatan itu menekankan konsep kesilapan sifar.\n4d.\u00a0 Sekolah kluster itu mempunyai masalah disiplin sifar.\nDalam ayat 4a, rangkaian kata pengangguran sifar bererti zero unemployment. Dalam ayat 4b, inflasi sifar bererti zero inflation. Dalam ayat 4c, kesilapan sifar ialah zero defects. Dalam ayat 4d, masalah disiplin sifar bererti zero discipline problems.\nSelain kata tunggal, sesetengah imbuhan asli atau pinjaman juga mendukung maksud \u201ctiada\u201d atau \u201ctanpa\u201d. Satu contoh imbuhan itu ialah imbuhan Sanskrit tuna-. Sila lihat contoh yang berikut:\n5a.\u00a0 Golongan tunawisma harus kita bantu.\n5b.\u00a0 Golongan tunakarya hidup melarat.\n5c.\u00a0 Orang yang tunaanggota itu sedang meminta sedekah.\n5c.\u00a0 Ada sekolah khas untuk golongan yang tunanetra dan tunakarna.\nDalam ayat 5a, kata tunawisma bererti homeless, iaitu gelandangan. Dalam ayat 5b,\u00a0 kata tunakarya bererti \u201ctiada kerja\u201d atau \u201cmenganggur\u201d. Dalam ayat 5c, terdapat kata tunanggota yang bererti \u201ctiada anggota\u201d. Selain itu, dalam ayat 5a, 5b dan 5c, imbuhan pinjaman Sanskrit tuna- telah dibubuh pada kata asli bahasa Melayu, iaitu wisma, karya dan anggota. Dalam ayat 5d pula, terdapat kata tunanetra (buta) dan tunakarna (tuli).\nImbuhan bi- daripada bahasa Parsi juga bererti \u201ctiada\u201d. Sila lihat contoh yang berikut:\n6a.\u00a0 Budak yang nakal itu biadab juga.\n6b.\u00a0 Ada kalanya perkara yang bilazim mungkin berlaku.\n6c.\u00a0 Kejadian binormal itu di luar jangkaan kita.\n6d.\u00a0 Guru bitara itu diberi kenaikan pangkat.\nDalam ayat 6a, kata biadab bererti \u201ctiada beradab\u201d atau \u201ctidak sopan\u201d. Dalam ayat 6b, kata bilazim bereti \u201ctidak biasa (berlaku)\u201d. Dalam ayat 6c, kata binormal bererti \u201ctidak normal\u201d. Dalam ayat 6d pula, kata bitara bererti \u201ctiada yang setara\u201d atau \u201cterbaik\u201d. Walau bagaimanapun, imbuhan bi- yang bererti \u201ctiada\u201d daripada bahasa Parsi harus kita bezakan daripada imbuhan bi- daripada bahasa Inggeris yang bererti \u201cdua\u201d. Contoh katanya ialah bilateral, bilabial dan bilingualisme.\nImbuhan nir- daripada bahasa Indonesia membawa maksud \u201ctiada\u201d atau \u201ctanpa\u201d. Dalam bahasa Melayu, penggunaannya masih belum meluas. Sila lihat contoh berikut:\n7. Encik Ali baru membeli sebuah kereta nirpemandu.\nDalam ayat 7 di atas, kata nirpemandu bererti \u201ctanpa pemandu\u201d atau driverless. Contoh penggunaan imbuhan nir- dalam kata bahasa Indonesia adalah seperti yang berikut: nirtunai nirwisma nirkertas nirguna nirlaba nirlogam \nSatu imbuhan bahasa Melayu yang membawa maksud \u201ctiada\u201d atau \u201cditiadakan\u201d ialah imbuhan nyah-. Sila lihat contoh yang berikut:\n8a.\u00a0 Dia suka minum kopi nyahkafeina.\n8b.\u00a0 Darah nyahoksigen mengalir dalam vena.\n8c.\u00a0 Aktiviti penyahhutanan menyebabkan pemanasan global berlaku.\n8d.\u00a0 Penyahjangkitan dilakukan untuk menghapuskan kuman.\nAda kalanya kata lain digunakan untuk mendukung maksud \u201ctiada atau kekurangan sesuatu\u201d. Sila lihat contoh yang berikut:\n9a.\u00a0 Bunga itu sudah kering dan layu.\n9b.\u00a0 Tanah yang kontang merekah.\n9c.\u00a0 Orang miskin harus kita santuni.\n9d.\u00a0 Mereka ketandusan kasih sayang.\nDalam ayat 9a dan 9b, kata kering dan kontang bererti \u201ctiada air\u201d. Dalam ayat 9c, kata miskin bererti \u201ctiada atau kekurangan wang\u201d. Dalam ayat 9d, ketandusan kasih sayang bererti \u201cketiadaan atau kekurangan kasih sayang\u201d." "Yakinlah bahawa Bahasa Melayu Mampu Menjadi Bahasa Ilmu dan Diplomatik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkah kerajaan pimpinan YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob untuk memartabatkan bahasa Melayu hingga ke peringkat antarabangsa sewajarnya disokong dan bukannya ditepis begitu sahaja. Kita perlu sedar bahawa pihak kerajaan berusaha untuk menghidupkan kembali pusaka bangsa, di samping mendukung apa-apa yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.\nTanpa mengira bangsa, agama ataupun ideologi politik, kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya berbangga dan menyokong kuat perjuangan Perdana Menteri dalam mengangkat bahasa kebangsaan kita, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN. Hujahan bernas Yang di-Pertua Dewan Negara dan Pengasas Yayasan Budi, YB Senator Tan Sri Dato\u2019 Seri Utama Dr. Rais Yatim, seorang negarawan dan pejuang tersohor bahasa Melayu, iaitu tidak ada sebuah negara di dunia yang akan jatuh mundur kerana memperjuangkan bahasa kebangsaannya sememangnya tepat sekali.\nBerdasarkan Perkara 152 Perlembagaan, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan negara tercinta ini. Walaupun bahasa Melayu ialah bahasa pertuturan kaum Melayu, tetapi dari segi kesahan dan moralnya, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi hak semua rakyat Malaysia. Sama ada orang Melayu ataupun orang bukan Melayu, mereka haruslah mengutamakan dan mendahulukan penggunaan bahasa Melayu dalam komunikasi, lebih-lebih lagi dalam urusan rasmi.\nKita tidak menafikan bahawa bahasa Inggeris yang digunakan dalam kalangan rakyat Malaysia dengan meluasnya akibat daripada kesan penjajahan British sekian lama dan juga sebagai \u00a0bahasa ilmu atau komersial dewasa ini. Namun begitu, hal tersebut tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membelakangi kedudukan dan peranan bahasa kebangsaan di Malaysia. Sebaliknya, rakyat perlu yakin bahawa bahasa Melayu mempunyai kemampuan jitu untuk menjadi bahasa ilmu dan komersial sekiranya pihak kerajaan dan rakyat mengutamakan penggunaannya baik dalam urusan seharian mahupun di peringkat antarabangsa.\nSementara itu, masih wujud segelintir pihak yang masih menyangkal dan mencurigai kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa diplomasi sehinggakan ada yang mendakwa bahawa kononnya penggunaan bahasa kebangsaan di peringkat antarabangsa akan merencatkan dan meranapkan pembangunan dan kemajuan ekonomi negara Malaysia yang terbina sejak merdeka. Ada juga yang mengkritik secara \u201cpedas\u201d usaha pihak-pihak yang berusaha mengangkat bahasa Melayu ke persada antarabangsa sebagai \u201corang gila\u201d. Persoalannya, adakah penggunaan bahasa kebangsaan boleh memundurkan pembangunan ekonomi sesebuah negara?\nPada hari ini, kita dapat melihat negara-negara seperti Jepun, Korea, Rusia, China, Jerman, Finland, Perancis, Belanda dan sebagainya masih terus mencipta pelbagai kejayaan sehingga muncul sebagai jaguh ekonomi. Adakah mereka berjaya disebabkan oleh penggunaan bahasa Inggeris yang bukannya bahasa kebangsaan mereka? Sudah tentunya tidak sama sekali! Negara-negara tersebut tetap mendaulatkan bahasa kebangsaan masing-masing dan menggunakannya secara menyeluruh dalam semua aspek kehidupan, baik di peringkat nasional, mahupun di peringkat global.\nBagi rakyat negara-negara ini, bahasa kebangsaan dilihat sebagai penyuntik semangat untuk mereka terus berusaha dan bekerja keras sehingga maju dan mengatasi negara-negara yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa komersial. Justeru itu, dakwaan kononnya penggunaan bahasa Melayu di Malaysia akan menghalang pembangunan ekonomi \u00a0Malaysia adalah tidak berasas, malah tidak masuk akal sama sekali.\nNamun begitu, dalam keghairahan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN, penggunaan bahasa Inggeris tidak seharusnya ditolak sama sekali. Peluang mempelajari bahasa Inggeris dan bahasa lain harus diteruskan kerana mempelajari pelbagai bahasa adalah aset tambahan.\nPada masa yang sama, kerajaan serta pihak yang terlibat dalam usaha mengangkat martabat bahasa Melayu harus memastikan untuk tidak mengaitkan bahasa Melayu, yang sudah diterima dan diakui sebagai bahasa kebangsaan dengan sesuatu kaum, kebudayaan serta kepercayaan agama. Kita perlu sedar bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan hak dan pusaka nasional rakyat Malaysia secara keseluruhannya.\nYang penting dan diperlukan pada ketika ini ialah rakyat perlu berasa bangga serta yakin terhadap kemampuan bahasa Melayu, bukan sahaja sebagai bahasa perhubungan malah sebagai bahasa ilmu. Pakar-pakar dalam pelbagai bidang seperti teknologi, perubatan, sains, sosial dan sebagainya perlu menghasilkan buku dalam bahasa Melayu untuk dijadikan sumber pendidikan dan rujukan di negara ini.\nDewan Bahasa dan Pustaka juga harus mempertingkatkan peranannya dalam penghasilan buku-buku ilmiah dalam bahasa Melayu untuk pembacaan orang ramai. Apakah kita sudah lupa akan sejarah kononnya negara al-Andalusia yang wujud sekitar abad ke-7 hingga ke-14 telah menghasilkan banyak karya sains dan teknologi dalam bahasa mereka yang bukannya bahasa Inggeris, terutamanya dalam bidang trigonometri, astronomi, pembedahan, farmakologi dan agronomi sebelum penggunaan \u00a0\u00a0bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu.\nSehubungan dengan itu, pegawai kerajaan serta diplomat sebagai pegawai barisan hadapan yang bertugas di luar negara perlulah mengutamakan penggunaan bahasa Melayu bersama dengan bahasa Inggeris dalam urusan rasmi untuk menarik perhatian orang luar terhadap bahasa Melayu. Apakah kerajaan yang berhasrat mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa diplomatik di peringkat antarabangsa akan menyediakan dan menempatkan pegawai-pegawai yang mahir dalam bahasa Melayu serta Inggeris di pejabat-pejabat kerajaan di luar negara? Apakah kerajaan bersedia melalui paradigma baharu seiring dengan hasrat kepimpinan kerajaan dalam usaha pelantikan pegawai-pegawai diplomat serta kakitangan yang bertugas di luar negara yang mewakili kerajaan Malaysia dalam menjayakan usaha pemartabatan bahasa Melayu?\nPendek kata, usaha mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN akan berjaya sekiranya rakyat mengubah minda dan pemikiran mereka terhadap kemampuan bahasa Melayu, sambil kerajaan mengambil daya usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa teknologi serta ilmu seiring dengan peredaran masa dan keperluan zaman." "Lensa Suasana Persekolahan di Langkawi dalam Kebiasaan Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2013 Bermula pada 17 Oktober 2021, murid tahun satu, dua dan tiga di Langkawi akan hadir ke sekolah dan mengikuti pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dengan guru. Kehadiran murid di sekolah pula dilaksanakan secara penggiliran.\nPembukaan sekolah ini selaras dengan ketetapan yang diumumkan oleh kerajaan bagi negeri yang sudah beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), termasuklah Langkawi yang terlibat dengan program gelembung pelancongan.\nBagi merakamkan suasana hari pertama pembukaan sekolah setelah dibenarkan beroperasi secara bersemuka, sidang editor majalah e-Dewan Masyarakat bersama-sama jurufoto, Hanafi Mohd Yusof membuat tinjauan di Sekolah Kebangsaan Padang Matsirat, Langkawi.\n\nIbu bapa menghantar anak mereka belajar di sekolah setelah pengoperasian semula sekolah semasa musim pandemik.\n\nSuasana pembukaan sekolah yang mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).\n\nMurid berjalan beriringan tetapi tidak bersentuhan selaras dengan SOP penjarakan fizikal pada musim pandemik COVID-19.\n\nPelitup muka menjadi satu keperluan yang wajib dipakai oleh murid.\n\nKeadaan di bilik darjah untuk pembelajaran dalam suasana kebiasaan baharu.\n\nCecair pensanitasi dan alat pengukur suhu menjadi kemudahan yang wajib ada di pintu masuk sekolah.\n\nWajah ceria dan teruja murid melangkah ke sekolah.\n\nKeadaan di sekolah yang kembali ceria dengan gelak dan tingkah laku murid dan guru setelah beberapa bulan tidak beroperasi." "Ketetapan Pengoperasian Sekolah Selepas Dua Minggu Peralihan Negeri ke Fasa Baharu PPN\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menetapkan bahawa jika sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM mengikut ketetapan fasa baharu akan dilaksanakan selepas dua minggu dari tarikh peralihan ke fasa tersebut.\nDalam satu kenyataan media pada hari ini, KPM berkata, \u201cKPM merujuk pengumuman YAB Perdana Menteri Malaysia pada 15 Oktober 2021 berkaitan dengan peralihan fasa PPN bagi negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Sabah, Melaka, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Wilayah Persekutuan Putrajaya, berkuat kuasa pada 18 Oktober 2021.\u201d\n\u201cSehubungan dengan itu, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi negeri Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Perak dan Sabah terus beroperasi berdasarkan ketetapan negeri fasa dua PPN pada 18 Oktober 2021. Apabila negeri Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Perak dan Sabah beralih ke fasa tiga pada 18 Oktober 2021, maka pengoperasian institusi pendidikan berdasarkan ketetapan fasa tiga bagi negeri Kedah dan Kelantan akan bermula pada 31 Oktober 2021. Bagi negeri Pulau Pinang, Perak dan Sabah, pengoperasian institusi pendidikan berdasarkan ketetapan Fasa 3 akan bermula pada 1 November 2021,\u201d jelas KPM.\nPengoperasian fasa tiga PPN ini melibatkan murid prasekolah, murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional dan Program Pendidikan Khas Integrasi, tingkatan enam semester dua, Prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya/sekolah harian/sekolah swasta, International Baccalaureate Diploma (IBD), serta kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) dan kelas peperiksaan antarabangsa yang lain.\nTambah KPM, \u201cbagi negeri Melaka, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, pengoperasian institusi pendidikan di bawah KPM terus beroperasi berdasarkan ketetapan negeri fasa tiga PPN pada 18 Oktober 2021. Memandangkan negeri ini akan beralih ke fasa empat PPN bermula pada 18 Oktober 2021, pengoperasian institusi pendidikan di negeri berkenaan berdasarkan ketetapan fasa empat PPN hanya akan bermula pada 1 November 2021. Hal ini turut melibatkan kemasukan bagi murid tahap satu (tahun satu, dua dan tiga) sekolah rendah serta murid tingkatan tiga dan empat sekolah menengah.\u201c\nDalam pada itu, KPM turut memaklumkan, \u201ckehadiran murid tahap dua (tahun empat, lima dan enam) sekolah rendah dan kelas peralihan, serta tingkatan satu dan dua sekolah menengah bagi negeri Melaka, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Wilayah Persekutuan Putrajaya akan bermula pada 8 November 2021, iaitu seminggu selepas negeri tersebut memulakan pengoperasian berdasarkan ketetapan fasa empat PPN.\u201d\nInstitusi pendidikan di bawah KPM turut merujuk institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.\nKPM menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan di bawah kerajaan negeri." "Ibu Bapa Pemangkin Kejayaan 68 Peratus Program Vaksinasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLabuan \u2013 Sejajar dengan hasrat kerajaan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus komited untuk memastikan seluruh warga sekolah mengambil vaksin bagi mewujudkan kelompok komuniti sekolah yang selamat dan sihat.\nMenurut Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Yusuf Mohamad, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang melibatkan murid sekolah rendah di pulau bebas cukai ini hampir selesai apabila 68 peratus murid telah menerima suntikan dos kedua.\nDalam tinjauan di Sekolah Kebangsaan Sungai Lada pada hari ini menjelang pembukaan semula sesi persekolahan, ibu bapa turut memberikan galakan yang positif kepada anak-anak mereka untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.\n\n\u201cKita sepatutnya tidak membiarkan anak-anak kita tanpa divaksin, jika tidak kita gagal menjalankan tugas mencapai imuniti kelompok dalam keluarga,\u201c demikian menurut seorang ibu kepada murid di Sekolah Kebangsaan Sungai Lada ketika diwawancara oleh e-Dewan Masyarakat.\nSaya berasa susah hati bagi ibu bapa yang menolak vaksin kerana anak-anak akan bersekolah dan bertemu dengan kawan-kawan mereka.\n\u201cKita perlu berhadapan dengan COVID-19, kita perlu terima cabaran dan usaha yang terbaik untuk memutuskan rantaian wabak ini,\u201d kata Jamilah Abdul Majid, ibu kepada murid tahun enam.\nSebagai seorang penjaga, Noorlihan Abdul Alip turut menzahirkan rasa syukur kerana anaknya sudah menerima vaksin berikutan inisiatif kerajaan dalam pencegahan penularan COVID-19 dalam kalangan warga sekolah.\nSyukur kerana anak saya sudah menerima vaksin, hal ini sangat penting untuk kesihatan mereka, terutamanya menjelang pembukaan sekolah.\n\u201cDengan penerimaan suntikan vaksin ini, kami berasa lebih terjamin dengan keselamatan anak-anak semasa berada di sekolah nanti, tambah lagi anak-anak saya sudah tidak sabar untuk pergi ke sekolah bersemuka dengan kawan-kawan dan gurunya,\u201d kongsinya.\nSementara itu, seorang lagi ibu murid tahun enam, Ismahwizah Isnin turut berpendapat bahawa beliau amat berharap supaya ibu bapa memainkan peranan dalam menyokong usaha PICK sebagai langkah persediaan untuk pembukaan sekolah secara bersemuka, di samping memastikan kesihatan seluruh warga sekolah, terutamanya anak-anak mereka berada dalam kelompok yang selamat dan sihat." "30 Peratus Murid Berusia 12 hingga 15 Tahun Lengkap Vaksinasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLabuan \u2013 \u00a0Hari ini merupakan hari terakhir pemberian vaksin dos kedua kepada murid yang berumur antara 12 tahun hingga 15 tahun di Pusat Pemberian Vaksin Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lada.\nProgram Media Engagement, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia bersempena dengan Kempen Kembali ke Sekolah meninjau pemberian vaksin kepada murid yang berumur antara 12 tahun hingga 15 tahun dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Pusat Pemberian Vaksin SK Sungai Lada. Turut meninjau program pemberian vaksin di SK Sungai Lada ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Yusuf Mohamad.\nBerdasarkan PPN, aspek penting yang diberikan perhatian ialah keselamatan dan kesihatan warga sekolah dan persekitaran sekolah yang selamat. Vaksinasi merupakan cara terbaik untuk melindungi masyarakat daripada COVID-19. KPM melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan PPN berusaha memastikan agar seluruh warga sekolah, termasuklah guru dan murid menerima vaksin lengkap.\nMurid yang diberikan keutamaan oleh Kerajaan Pusat dalam program vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin SK Sungai Lada menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech. Rata-rata murid menzahirkan kelegaan dan kegembiraan mereka menerima dos kedua vaksin sebagai persediaan kembali ke sekolah dengan kesihatan dan persekitaran yang selamat.\nMurid tahun enam SK Sungai Lada, Alya Irdina A. Roslan, meluahkan kegembiraannya kerana berjaya melengkapkan suntikan dos kedua vaksin pada hari ini. Alya yang menerima suntikan vaksin dos pertama pada 17 September 2021 yang lalu turut menasihati rakan-rakannya yang belum menerima vaksin agar berbuat demikian demi keselamatan dan kesihatan semua.\nMuhamad Zhafiy Izzfan Rafizal, 12 tahun, berasa tidak sabar untuk kembali semula ke sekolah setelah sekian lama sekolah ditutup. \u201cSaya tidak sabar untuk bertemu dengan guru dan rakan-rakan saya di SK Sungai Lada untuk belajar seperti dahulu,\u201d kata Zhafiy.\nKeputusan untuk membuka semula sesi persekolahan di Labuan dibuat oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin setelah Labuan menjadi satu-satunya wilayah negeri dan Persekutuan yang beralih ke Fasa Empat PPN.\nMenurut Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr. Ismuni Bohari, program vaksinasi kepada murid sekolah di Labuan hampir selesai apabila lebih 68.25 peratus daripada 10 094 jumlah keseluruhan murid yang tersenarai (berumur antara 12 tahun hingga 17 tahun), berjaya melengkapkan dos kedua vaksin setakat semalam (16 Oktober 2021). Sebanyak 30 peratus orang murid yang berumur antara 12 tahun hingga 15 tahun dijangka melengkapkan dos kedua vaksin mereka pada hari ini, iaitu hari terakhir pemberian vaksin." "SK Tanjung Aru Siap Siaga Buka Sekolah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLabuan \u2013 \u00a0Program Media Engagement, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia bersempena dengan Kempen Kembali ke Sekolah meninjau persediaan pembukaan sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Aru esok. Turut meninjau program ini ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Yusuf Mohamad.\nKeputusan untuk membuka semula sesi persekolahan di Labuan dibuat oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin setelah Labuan menjadi satu daripada Wilayah Persekutuan dan negeri \u00a0yang beralih ke Fasa 4 PPN. Pembukaan sekolah dalam Fasa 4 PPN Peringkat Ketiga Sekolah Rendah di Labuan mensyaratkan semua murid hadir secara bersemuka dengan penggiliran, dan semua\u00a0 murid prasekolah hadir secara bersemuka.\nGuru Besar SK Tanjung Aru, Mohammad Farihi Abdul Halim menjelaskan pihak sekolah sudah membuat persediaan rapi berdasarkan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 KPM\u00a0dengan memastikan kawasan dan bangunan sekolah, termasuklah bilik PdP dibersihkan dan dalam keadaan selamat untuk beroperasi. Hal ini termasuklah penyediaan pelan perancangan susun atur bilik PdP yang sesuai dan berfungsi dengan baik untuk PdP dengan mengambil kira penjarakan fizikal murid dan warga sekolah. Tanda penjarakan fizikal dan pelan laluan pergerakan terarah atau sehala, poster dan bahan bercetak langkah kebersihan dan keselamatan, sabun dan tong sampah tertutup diletakkan di bilik pengajaran dan pembelajaran (PdP), kantin, bilik guru dan pejabat." "KPM Menyantuni Media Sempena Pembukaan Sekolah di Labuan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLabuan \u2013 Buat julung kalinya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama-sama Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) melaksanakan Program Media Engagement sebagai rakan strategik dalam menjayakan program bersempena dengan kempen \u201cKembali ke Sekolah\u201d.\nSelaras dengan peranan utama JAPEN, jalinan kerjasama strategik ini untuk meningkatkan produktiviti serta meluaskan pengalaman para media dalam pengurusan kewartawanan yang lebih efisien dan bertaraf profesional.\nTambah KPM, pelaksanaan Program Media Engagement ini juga bertujuan untuk memberikan liputan yang meluas mengenai pengoperasian sekolah secara bersemuka dan kandungan yang mempunyai daya tarikan dan pujukan bagi meredakan kebimbangan, seterusnya meningkatkan keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah dalam suasana menghampiri era endemik mengikut prosedur operasi standard (SOP)\u00a0 yang ditetapkan.\nMenariknya, hasil tinjauan ke beberapa buah sekolah di Labuan, wakil media diberikan peluang untuk melihat dengan lebih dekat detik-detik keterujaan dan kegembiraan murid untuk kembali ke sekolah setelah lama menetap di rumah rentetan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).\nDetik ini boleh dikira bersejarah apabila buat sekian kalinya anak-anak ini kembali semula ke sekolah setelah lama menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), terutamanya murid tahun satu yang hanya merasai pengalaman bersekolah untuk tempoh yang sangat singkat sebelum ini.\nApatah lagi, Wilayah Persekutuan Labuan merupakan negeri pertama yang beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang melibatkan murid sekolah rendah Tahap 1 dan murid sekolah menengah Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 kembali semula ke sekolah secara penggiliran\nPada masa yang sama, Yusuf Mohamad, Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan turut menjelaskan bahawa majlis makan malam hari ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada para media, khususnya di Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah yang banyak membantu dan memberikan sokongan kepada KPM, lebih-lebih lagi pada waktu pandemik COVID-19 ini.\nMenurut Yusuf, bantuan dan usaha keras daripada pelbagai pihak selama ini telah menjadikan Labuan sebagai negeri yang pertama berjaya membawa semula anak-anak kembali ke sekolah.\nMengakhiri majlis perasmian Program Media Engagement, beliau berharap agar semua pihak dapat menjalani kehidupan dalam kebiasaan baharu, di samping menjaga SOP bagi mengekang penularan wabak virus COVID-19." "\u201cSekolah sudah bersedia menerima murid.\u201d \u2013 YB Datuk Mohamad Alamin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2012 Timbalan Menteri Pendidikan 2, YB Datuk Mohamad Alamin berkata, pihak sekolah pada hakikatnya sudah bersedia untuk menerima murid bagi menghadiri sesi persekolahan secara bersemuka. Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, pada pagi ini.\nMenurut YB Datuk Mohamad, tujuan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat lawatan ke SK Seksyen 7 adalah bagi meninjau dan memantau persediaan sekolah untuk beroperasi semula seperti sediakala.\n\u201cHari ini merupakan hari pertama sekolah dibuka untuk murid prasekolah di Lembah Klang. Kami dapati pihak sekolah sememangnya sudah bersedia untuk menerima kehadiran murid,\u201d ujarnya.\nHasil lawatan pada hari ini, saya amat berpuas hati.\nYB Datuk Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis berkata, \u201cibu bapa perlu yakin dengan usaha KPM, Jabatan Pendidikan Negeri dan sekolah sendiri, kerana kami sentiasa mengambil kira aspek keselamatan anak di sekolah.\u201d\nTambah beliau, \u201cbermacam-macam persiapan telah dilakukan oleh KPM untuk membuka semula sesi persekolahan secara bersemuka. Kami akan pastikan segala prosedur operasi standard (SOP) diikuti sepanjang tempoh keberadaan murid dan guru di sekolah, juga dari aspek keselamatan dan kesihatan yang sentiasa menjadi keutamaan KPM.\u201d\nPada sesi lawatan tersebut, YB Datuk Mohamad turut menyeru ibu bapa supaya menghantar anak mereka ke sekolah bagi menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka dengan guru. Katanya, \u201csaya dapati anak-anak sangat gembira dan ghairah untuk hadir ke sekolah. Oleh itu, saya menyeru kepada ibu bapa agar tidak berasa risau dan khuatir, hantarlah anak-anak untuk bersekolah seperti biasa.\u201d\nDalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai kadar vaksinasi dalam kalangan murid.\nVaksinasi dalam kalangan murid sangat menggalakkan dan mereka sedar akan kepentingan mengambil vaksin.\n\u201cHingga 17 Oktober 2021, sebanyak 86.9 peratus murid yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin COVID-19. Yang pastinya, jumlah ini akan terus meningkat dari hari ke hari. Kami dapati murid bersedia menerima vaksin demi menjaga kesihatan dan keselamatan terutamanya untuk menghadiri sesi persekolahan secara bersemuka,\u201d katanya." "Pengoperasian Semula Sekolah: Guru dan Murid Teruja\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Hari ini merupakan hari pertama murid prasekolah di Lembah Klang hadir ke sekolah dan mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka dengan guru.\nPembukaan semula sekolah yang dilaksanakan secara berperingkat ini selaras dengan ketetapan yang diumumkan oleh kerajaan mengenai peralihan kawasan Lembah Klang (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor) ke fasa tiga berdasarkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 1 Oktober lalu, sebelum pengumuman peralihan ketiga-tiga kawasan tersebut ke fasa empat PPN yang bermula pada hari ini.\nDalam kesempatan itu, sidang editor e-Dewan Masyarakat membuat tinjauan suasana pengoperasian semula sekolah di Sekolah Kebangsaan Seksyen 7, Bandar Baru Bangi yang melibatkan kehadiran murid prasekolah dan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah tersebut." "KPM Mempertimbangkan Pelajar Tingkatan Lima Menghadiri Kelas Tanpa Penggiliran\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTAMPIN \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang dalam proses perbincangan untuk membenarkan pelajar tingkatan lima kembali mengikuti sesi pembelajaran secara bersemuka tanpa penggiliran.\nMenurut Menteri Kanan Pendidikan, YBhg. Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin, pihaknya dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang memantau kadar vaksinasi dalam kalangan murid terutamanya kategori murid kelas peperiksaan.\nMemandangkan kadar vaksinasi dalam kalangan murid tingkatan lima semakin meningkat, KPM sedang mempertimbangkan untuk tidak melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara penggiliran bermula dengan kategori murid kelas peperiksaan, iaitu murid yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sebaliknya, membenarkan kategori murid ini mengikuti PdP secara bersemuka.\nBeliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan pada hari pertama persekolahan bagi negeri Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Sekolah Kebangsaan Tengku Zainun, Tampin, Negeri Sembilan pada pagi ini.\n\u201cJika kadar vaksinasi telah berjaya mencapai tahap yang membolehkan murid-murid hadir ke sekolah tanpa penggiliran, maka KPM akan membenarkan mereka hadir ke sekolah bagi mengikuti kelas secara bersemuka,\u201c ujar YBhg. Datuk Dr. Radzi.\nTambah beliau, kadar vaksinasi dalam kalangan murid tingkatan lima mencecah 97 peratus atau 371 696 murid telah menerima dos pertama vaksin, manakala 57.9 peratus atau 142 655 murid telah lengkap divaksin.\nTambahnya lagi, sebanyak 339 951 murid telah hadir ke sekolah bagi mengikuti sesi pembelajaran secara bersemuka di negeri yang mencapai Fasa Empat PPN, iaitu di Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Labuan dan Langkawi bermula semalam dan hari ini." "SK Tanjung Aru Buka Sekolah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLabuan \u2013 \u00a0Program Media Engagement, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia bersempena dengan Kempen Kembali ke Sekolah meninjau suasana kemasukan semula murid di Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru setelah beberapa bulan sesi persekolahan secara bersemuka ditangguhkan akibat pandemik COVID-19.\nMenyambut kehadiran murid Tahap 1 (Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3) di pintu utama Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru pada hari ini ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Yusuf Mohamad selain Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru, Mohammad Farihi Abdul Halim dan para guru.\n\n\nYusuf Mohamad (kanan) menyambut kedatangan murid Tahap 1 Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru, Labuan. \nTinjauan media di sekolah ini mendapati rata-rata para guru dan murid telah membuat persediaan rapi dari aspek fizikal dan mental untuk kembali ke sekolah sebagaimana yang ditetapkan dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 KPM.\nKebanyakan murid yang dihantar oleh ibu bapa mereka untuk memulakan persekolahan pada hari pertama ini nampak tenang dan gembira kerana dapat bersekolah semula, bertemu para guru dan rakan-rakan setelah sekian lama sesi persekolahan secara bersemuka ditangguhkan.\n\n\n\n\nMurid juga dilihat tidak kekok menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu di sekolah dan mematuhi arahan yang ditetapkan oleh pihak sekolah seperti mengimbas suhu badan dan membasuh tangan sebelum masuk ke bilik PdP.\nMohammad Farihi dalam ucapan sambutan kemasukan murid Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru mengalu-alukan kehadiran murid. Beliau turut menasihati para guru dan murid agar meneruskan kecemerlangan sekolah. Para guru diingatkan tentang visi KPM, iaitu \u201cPendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera\u201d, iaitu para guru perlu sentiasa berprestasi tinggi memanfaatkan prasarana serta Teknologi, Maklumat dan Komunikasi bagi meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran.\nSementara itu, beliau menasihati murid\u00a0 agar sentiasa mengamalkan nilai murni seperti memberikan salam kepada para guru sebagai usaha membentuk sahsiah terpuji sejak dari awal.\n\nGuru Besar Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru, Mohammad Farihi Abdul Halim\u00a0 (bersongkok) menyampaikan ucapan sambutan kemasukan semula ke sekolah.\nKeputusan untuk membuka semula sesi persekolahan di Labuan dibuat oleh Menteri Kanan Pendidikan, YBhg. Datuk Dr. Radzi Jidin setelah Labuan menjadi satu daripada Wilayah Persekutuan dan negeri yang beralih ke Fasa 4 PPN. Pembukaan sekolah dalam Fasa 4 PPN Peringkat Ketiga Sekolah Rendah di Labuan mensyaratkan semua murid hadir secara bersemuka dengan penggiliran, dan semua murid prasekolah hadir secara bersemuka.\nGuru Besar Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru, Mohammad Farihi Abdul Halim menjelaskan bahawa pihak sekolah sudah membuat persediaan rapi berdasarkan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 KPM\u00a0sejak semalam dengan memastikan kawasan dan bangunan sekolah, termasuklah bilik PdP dibersihkan dan dalam keadaan selamat untuk beroperasi. Hal ini termasuklah penyediaan pelan perancangan susun atur bilik PdP yang sesuai dan berfungsi dengan baik untuk PdP dengan mengambil kira penjarakan fizikal murid dan warga sekolah. Tanda penjarakan fizikal dan pelan laluan pergerakan terarah atau sehala, poster dan bahan bercetak langkah kebersihan dan keselamatan, sabun dan tong sampah tertutup diletakkan di bilik PdP, kantin, bilik guru, dan pejabat." "\u201cKata Tanya\u201d dalam Ayat Penyata\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nBolehkah kata tanya digunakan dalam ayat yang di bawah ini?\nSaya tidak mengetahui mengapa syarikat kita melabur dalam perniagaan itu.\n\u00a0\nDaripada:\nNor Rahayu Abdul Rahman,\nKluang." "Keterujaan Murid Tahap 1 di Labuan Kembali ke Sekolah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLabuan \u2013 Sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan yang berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) menerima kehadiran murid Tahap 1 pada hari ini.\nHasil tinjauan\u00a0 di Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru, Labuan pada pagi tadi mendapati prosedur operasi standard (SOP) yang menjadi kewajipan dalam kebiasaan baharu pandemik COVID-19 dipatuhi dengan sebaiknya oleh pihak sekolah. Antara SOP yang ditetapkan termasuklah\u00a0 penjarakan fizikal, penyediaan cecair pensanitasi dan alat pengimbas suhu.\nRata-rata murid yang hadir ke sekolah secara bersemuka pada hari ini kelihatan bersemangat dan gembira setelah hampir setahun mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).\n\u201cSaya sangat seronok apabila dapat berjumpa dengan kawan-kawan dan guru-guru,\u201d kata Nur Arfa Aqilah, murid Tahun 2.\nIbu Nur Arfa, Jaifah Mohd. Jakri yakin dengan pembelajaran secara bersemuka, anaknya lebih mudah memahami dan dapat memberikan tumpuan yang lebih baik di dalam kelas.\n\u201cRasa teruja apabila anak-anak sudah kembali ke sekolah. Namun begitu, sebagai seorang ibu, perasaan risau tetap ada kerana mereka bersekolah dalam keadaan persekitaran pandemik COVID-19. Walau bagaimanapun, saya percaya bahawa pihak pengurusan sekolah sedaya upaya mematuhi SOP\u00a0 untuk kebaikan semua murid,\u201d kata Siti Soleha, yang anaknya berada di Tahun 2 di sekolah tersebut.\nMuammar Hassan, bapa kepada Hana Insyirah, murid Tahun 1 pula menyatakan bahawa: \u201cKita sudah menuju era endemik COVID-19, sama ada mahu ataupun tidak kita perlu hidup dalam kebiasaan baharu. Guru sudah pun menerima vaksin, hal ini tidak akan menimbulkan permasalahan apabila pihak sekolah mengikut SOP seperti yang ditetapkan. Saya yakin, anak-anak kita akan belajar dalam persekitaran yang selamat.\u201d\nMengulas lebih lanjut, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru, Mohammad Farihi Abdul Halim menjelaskan bahawa pengoperasian semula sekolah bukan sahaja mendapat sambutan yang baik daripada murid bahkan dalam kalangan ibu bapa.\n\u201cPembukaan sekolah ini selaras dengan ketetapan yang diumumkan oleh kerajaan tempoh hari yang memutuskan bahawa Labuan sebagai wilayah pertama\u00a0 pembukaan sekolah di negeri Fasa 4 PPN,\u201d ujar beliau." "Tiga Hak Raja Berperlembagaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cKetika diamanahkan dengan gelaran, jawatan dan ketika berhadapan dengan peranan dan tanggungjawab baharu, perkara utama yang wajib difahami ialah bidang kuasa seorang raja pemerintah dalam sistem kerajaan yang mengamalkan doktrin raja berperlembagaan \u2013 demokrasi berparlimen.\u201d\nDemikian titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang dizahirkan dalam Majlis Pelancaran Buku Siri Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada pukul 9.30 pagi tadi. Baginda bertitah bahawa sudah menjadi tanggungjawab raja pemerintah untuk memastikan terjalin hubungan harmoni serta semangat saling menghormati dan saling memahami antara institusi istana dengan institusi rakyat berlandaskan perlembagaan.\nTambah baginda lagi, \u201cRaja pemerintah mempunyai tanggungjawab untuk memastikan semangat perlembagaan dan falsafah yang tersirat di sebalik perkara-perkara yang digubal difahami dan dilindungi. Setiap istilah dan perkataan yang termaktub dalam perlembagaan memiliki maksud yang tersendiri. Hal ini hendaklah ditafsirkan secara bijaksana, halus, teliti dan tepat agar keadilan tidak tercicir.\u201d\nBaginda bertitah bahawa raja memerintah bukan mentadbir, sebaliknya bertanggungjawab mengawasi dan memastikan berlakunya pentadbiran yang adil, saksama dan telus. Hal ini bermaksud bahawa raja yang memerintah hendaklah berperanan sebagai penimbang tara yang bijak kepada cabang-cabang perundangan, eksekutif dan kehakiman demi memastikan peranan tersebut terlaksana berdasarkan mekanisme semak dan imbang, sekali gus membantu memperkukuh keyakinan rakyat terhadap amalan demokrasi yang telus.\nTambah baginda lagi, Vernon Bogdanor dalam bukunya The Monarchy and The Constitution menyatakan bahawa penumpuan mengenai kuasa perlembagaan yang ada pada raja berdaulat memberikan gambaran yang mengelirukan terhadap peranan kontemporari raja berperlembagaan. Hal ini demikian kerana peranan utama raja adalah berlandaskan perlembagaan yang bukan sahaja ketika sesebuah kerajaan bermula atau berakhir, tetapi berlangsung dalam urusan harian kerajaan melalui pengaruh berbanding dengan kuasa.\nBogdanor selanjutnya memetik konsep klasik triniti Walter Bagehot pada pertengahan abad ke-19 yang menghuraikan pandangan bahawa raja berperlembagaan memiliki tiga hak, iaitu hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan; hak untuk memberikan galakan dan dorongan; dan hak untuk memberikan peringatan dan teguran.\nBeta memilih untuk memberikan nasihat dan pandangan, galakan dan dorongan serta teguran dan peringatan melalui titah yang dizahirkan ini.\nSultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan bahawa raja pemerintah yang arif tidak memerlukan sebarang tambahan kuasa jika ketiga-tiga hak ini berjaya dikendalikan secara bijaksana lagi berhemah. Baginda menginsafi bahawa takhta kerajaan ialah amanah dan anugerah Ilahi selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat ke-26 yang bermaksud:\nKatakanlah: Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu.\nTitah DYMM Sultan Nazrin lagi, \u201cAmanah dan anugerah Ilahi dikembari dengan peranan dan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan sesempurna mungkin agar rakyat meyakini bahawa institusi raja tetap relevan dan mempunyai peranan. Yang Arif Hakim Raja Tan Sri Azlan Shah (Marhum Al-Maghfur-Lah) dalam pidato sewaktu menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang dari Universiti Sains Malaysia pada tahun 1980, menzahirkan peringatan bahawa selagi rakyat menaruh kepercayaan terhadap raja dan menghormati institusi raja, selagi itu takhta tidak akan dipindahkan dari istana ke muzium. Takhta juga tidak boleh lari daripada hukuman Allah, hukum yang ditetapkan ke atas seluruh umat manusia tanpa mengira raja atau rakyat.\u201d" "Pelancaran Buku Siri Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0 \u2013 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli dalam Majlis Pelancaran Buku Siri Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang berlangsung\u00a0di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada pagi ini.\nBuku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini mengandungi 36 titah baginda yang disusun dalam empat bahagian; iaitu Institusi Raja, Tadbir Urus, Agama Islam dan Masyarakat dan Kebudayaan. Titah yang terkumpul dalam koleksi ini telah dizahirkan oleh baginda antara 9 Ogos 2009 hingga 5 Oktober 2016, atas kapasiti baginda sebagai Raja Muda Perak (15 April 1987 \u2012 28 Mei 2014), Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (1 Julai 1997 \u2013 12 Jun 2014), Pemangku Raja Perak dan mulai 29 Mei 2014 dimasyhurkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Ke-35.\n\nBeta menghargai usaha DBP menerbitkan kumpulan titah yang telah beta zahirkan. Usaha DBP ini Insya-Allah akan membolehkan pemikiran dan pandangan Beta sampai kepada khalayak yang lebih luas.\nSementara itu, menurut Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa keberangkatan Duli Tuanku ke majlis ini dan keprihatinan Duli Tuanku terhadap perkembangan ilmu dan penerbitan menjadi manifestasi keprihatinan Duli Tuanku terhadap perkembangan ilmu dan penerbitan buku yang menjadi satu daripada teras peradaban negara. Hal ini menjadi suntikan semangat kepada warga DBP untuk melipatgandakan usaha dalam penerbitan dan pengayaan khazanah ilmu negara.\nTambah beliau lagi, \u201cKeberangkatan Duli Tuanku pada hari ini ialah kali yang kelima sejak tahun 2005. Pada 14 Julai 2005, Duli Tuanku melancarkan buku Local and Global: Social Transformation in Southeast Asia \u2013 Essays in Honour of Professor Syed Hussein Alatas. Pada 6 Ogos 2009, Duli Tuanku melancarkan tiga buku karya Profesor Datuk Dr. Syed Hussein Alatas, iaitu Mitos Peribumi Malas, Intelektual Masyarakat Membangun, dan Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi, bersempena dengan Seminar Antarabangsa Pemikiran Syed Hussein Alatas. Pada 19 Februari 2013, Duli Tuanku berkenan berangkat ke DBP untuk menzahirkan titah di Majlis Perpaduan Ummah yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir ini juga. Selanjutnya pada 5 Oktober 2016, Duli Tuanku berangkat ke DBP untuk menzahirkan Titah Diraja yang berjudul \u2018Maju Bahasa Majulah Bangsa\u2019.\u201c\nKeberangkatan Duli Tuanku ke majlis pada hari ini dan empat majlis sebelum ini cukup bermakna dalam usaha DBP memperkasakan tradisi keilmuan, yang melambangkan Duli Tuanku sebagai payung tamadun dan tradisi keilmuan nusa dan bangsa.\nMenurut Editor Siri Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, YABhg. Dato\u2019 Seri Mohd Annuar Zaini, \u201cTitah yang terkandung dalam penerbitan yang diusahakan oleh DBP ini\u00a0 menghamparkan peluang untuk pembaca mengikuti dan menghargai pemikiran seorang sultan yang sedang bersemayam di singgahsana pemerintahan.\u201d\nSemoga Siri Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah akan memberikan peluang kepada pembaca mengenali dan menghargai watak intelek dan jiwa ilmuwan seorang raja pemerintah yang sedang bersemayam atas takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.\nSementara itu, menerusi kata pengantar nukilan YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, beliau menyifatkan buku ini sebagai\u00a0suatu usaha menghidupkan tradisi hubungan istana dan kesultanan Melayu dengan penulisan dan persuratan Melayu yang boleh dijadikan rujukan oleh generasi sekarang dan generasi akan datang. \nPenulisan sebegini sememangnya wajar diperbanyak bagi mengangkat dan mencernakan idea dan pemikiran tokoh negara supaya dapat ditatap oleh pembaca seterusnya memberikan inspirasi kepada masyarakat, khususnya generasi muda dalam pembinaan tamadun bangsa dan negara.\nPada majlis tersebut, turut diadakan Wacana \u00a0Siri Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah\u00a0 yang menampilkan YABhg. Dato\u2019 Seri Mohd Annuar Zaini selaku moderator dan tiga orang panel yang terdiri daripada YBhg. Datuk Dr. Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Hashim; YBhg. Dr. Rokiah Talib; dan YBhg. Dato\u2019 Dr. Firdaus Abdullah. Sepanjang wacana berlangsung, ketiga-tiga ahli panel banyak mengupas ketinggian ilmu dan peradaban bangsa dalam setiap titah yang terkandung dalam buku Siri Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah\u00a0yang amat istimewa ini." "Peranan Institusi Keluarga dalam Pendidikan Adab dan Akhlak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAristotle pernah berkata, adab dan sopan lebih penting daripada makan dan minum, manakala Hamka pernah berkata, kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. Nabi Muhammad SAW juga pernah berpesan, jagalah dirimu baik-baik, usahakanlah kemuliaanmu kerana engkau dipandang manusia bukan kerana rupa tetapi kerana kesempurnaan budi dan adab.\nPada hakikatnya, selain sekolah, masyarakat dan kerajaan, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan adab dan akhlak anak-anak. Prinsip dasar keluarga negara yang kedua juga menggariskan institusi keluarga bertanggungjawab memupuk dan menghayati nilai murni. Setiap insan yang dilahirkan di dunia ini akan bergaul dengan ibu bapanya serta ahli keluarga yang lain sebelum belajar hidup bermasyarakat. Oleh sebab itu, peranan institusi keluarga dalam pembentukan adab dan akhlak insan tidak dapat disangkal. Meski dalam kesibukan mencari rezeki, ibu bapa harus mengambil masa untuk mendidik adab dan akhlak anak-anak.\nPerkara yang perlu dititikberatkan ialah pendidikan adab dari sudut budi bahasa. Institusi keluarga merupakan sekolah pertama anak-anak dalam mempelajari bahasa dan tutur kata yang halus. Sebagai contoh teladan anak-anak, ibu bapa harus bijak memilih perkataan dalam berkomunikasi. Elakkan berbahasa kesat, kasar dan maki hamun. Selain pemilihan perkataan, lenggok bahasa juga perlu dititikberatkan kerana lenggok bahasa yang kasar atau bersifat cemuhan, menghina dan memperkecil akan meracuni pemikiran dan mempengaruhi pembentukan adab dan akhlak. Ucapan dan perkataan yang\u00a0 berbentuk negatif dan menyakitkan hati haruslah dielakkan. Sekiranya anak-anak melakukan kesalahan, mereka haruslah ditegur secara berhemah. Bahasa dan lenggok bahasa seharian yang kita gunakan\u00a0 akan menjadi suri teladan dan budaya yang akhirnya menjadi kebiasaan anak selepas bertahun-tahun menghadapi cara berkomunikasi sedemikian.\n\nPendidikan adab yang seterusnya adalah dari sudut tingkah laku atau akhlak. Pada hari ini, kita mendengar banyak isu ibu dipukul, ibu atau bapa ditinggalkan di rumah orang tua, guru berasa tersinggung dengan sikap anak didik, majikan kesal dengan sikap pekerja dan orang awam tidak berpuas hati dengan tindakan penjawat awam. Oleh sebab itu, pembentukan akhlak yang baik seperti hormat-menghormati, sentiasa ringan mulut mengucapkan terima kasih, tolong-menolong, jujur, amanah, berdisiplin dan bertanggungjawab haruslah menjadi amalan institusi keluarga.\nSistem keluarga haruslah diperkuat dengan mengajar anak-anak menghormati ibu-bapa serta ahli keluarga yang lebih tua seperti datuk, nenek, mak cik, pak cik, abang dan kakak. Misalnya, dengan mengutamakan orang tua ketika waktu makan atau dalam apa-apa juga acara keluarga.\nSikap bertanggungjawab boleh dilatih dengan memberikan tugas kepada setiap ahli keluarga, umpamanya anak sulung akan memainkan peranan yang penting untuk membantu mengurus keluarga dan anak yang bongsu akan memainkan peranan mengikut umur dan kemampuannya seperti menyusun mainan sendiri, mengemas tempat tidur sendiri dan membuang sampah. Berdisiplin pula boleh diterapkan dengan mempunyai sistem nilai hidup yang betul, seperti bangun awal, mematuhi peraturan dalam institusi keluarga dan sentiasa patuh kepada nasihat dan bimbingan orang tua. Didiklah anak untuk sentiasa menghargai pemberian dan pertolongan ahli keluarga yang lain dan bibir yang tidak pernah lekang daripada ucapan terima kasih.\nPersoalannya, apakah institusi keluarga boleh memainkan peranan dengan baik dalam mencorakkan adab dan akhlak anak? Di samping keupayaan mendidik, banyak faktor lain yang akan mempengaruhi proses mendidik seperti persekitaran, latar belakang keluarga, keupayaan ekonomi, keupayaan masa dan ilmu. Oleh sebab itu, disyorkan agar lebih banyak kursus keibubapaan dan kursus komunikasi dijalankan untuk membimbing institusi keluarga.\nSelain itu anak-anak harus didekatkan dengan masyarakat supaya mereka faham skop adab dan akhlak pelbagai kaum di Malaysia. Doronglah anak untuk aktif dengan aktiviti perumahan, aktiviti kampung dan aktiviti keluarga. Melalui pengalaman sedemikian, anak-anak akan mempunyai pengalaman untuk berkomunikasi dengan banyak orang. Penumpuan institusi keluarga pada budi bahasa dan akhlak ini akan menjadi asas dan cerminan kepada anak-anak untuk menjadi anak yang baik, kakak yang baik, abang yang baik, pekerja yang baik, rakyat yang baik dan insan yang beradab dan beraklak mulia.\nMarilah kita mula sekolahkan anak-anak untuk berbahasa dan berakhlak baik dari rumah. Kuatnya dan santunnya sesuatu bangsa dan negara itu akan bermula daripada kukuhnya institusi kekeluargaan. Pendidikan adab dan akhlak yang betul daripada institusi keluarga mampu melahirkan pemimpin dan insan yang menjalankan setiap amanah dengan adab dan akhlak yang tinggi. Institusi keluarga merupakan sekolah pertama bagi setiap insan dalam pembentukan adab, budi bahasa dan akhlak insan." "Institusi KPM di Johor dan Terengganu Beroperasi pada 7 November 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 \u201cNegeri Johor dan Terengganu akan beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 25 Oktober 2021.\u201d Pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 22 Oktober 2021 yang lalu membawa maksud bahawa institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi negeri tersebut mengikut ketetapan Fasa 4 PPN akan bermula pada 7 November 2021, iaitu selepas dua minggu dari tarikh peralihan ke fasa tersebut.\nKPM dalam kenyataan medianya hari ini menyatakan bahawa institusi pendidikan bawah KPM bagi Johor dan Terengganu terus beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa 3 PPN pada 25 Oktober 2021. Pengoperasian ini melibatkan murid prasekolah, murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional dan Program Pendidikan Khas Integrasi, Tingkatan 6 Semester 2, prauniversiti\u00a0 Sekolah Sukan Malaysia, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya/sekolah harian/sekolah swasta, International Baccalaureate Diploma (IBD), serta kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level dan IBD) dan kelas peperiksaan antarabangsa yang lain.\nTambah KPM lagi,\nMulai 7 November 2021, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM di Johor dan Terengganu adalah mengikut ketetapan pengoperasian Fasa 4 PPN. Walau bagaimanapun, sekolah kerajaan bawah KPM di negeri tersebut hanya akan memulakan operasinya pada 8 November 2021 kerana pada 7 November 2021 merupakan cuti tambahan yang diperuntukkan dalam takwim KPM sempena perayaan Deepavali. Hal ini turut melibatkan kemasukan murid Tahap Satu (tahun 1, tahun 2 dan tahun 3) sekolah rendah serta murid tingkatan 3 dan tingkatan 4 bagi sekolah menengah. Sungguhpun demikian, institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM akan beroperasi mengikut takwim masing-masing.\n\u00a0\nPengoperasian sekolah bagi murid Tahap Dua (tahun 4, tahun 5 dan tahun 6) sekolah rendah serta kelas peralihan, tingkatan 1 dan tingkatan 2 sekolah menengah bagi Johor dan Terengganu pula akan bermula pada 14 November 2021, iaitu seminggu selepas negeri tersebut memulakan pengoperasian berdasarkan ketetapan Fasa 4 PPN.\nKPM dalam kenyataan media ini turut merujuk institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat. KPM menyarankan ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuklah institusi pendidikan bawah kerajaan negeri. KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik." "DM Dipaparkan dalam Akhbar Berbahasa Cina\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDewan Masyarakat\u00a0(DM), majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak September 1963, sentiasa menjadi rujukan pelajar, pembaca umum dan kebanyakan pemimpin di negara ini. Pada hari ini, akhbar berbahasa Cina,\u00a0Sin Chew Daily\u00a0turut memaparkan kulit\u00a0DM Bil. 11/2021 pada halaman 03 akhbar tersebut.\nKulit DM\u00a0Bil. 11/2021 yang bertajuk \u201cTimbalan Menteri Pendidikan 1: Daripada Pakar Jantung ke KPM\u201d mengetengahkan YB Dato\u2019 Dr. Mah Hang Soon sebagai penghias kulit majalah. Menerusi wawancara sidang editor DM\u00a0bersama-sama beliau di pejabatnya, di Putrajaya baru-baru ini, YB Dato\u2019 Dr. Mah Hang Soon menyatakan bahawa ketika di bangku sekolah,\u00a0DM\u00a0banyak membantu beliau menguasai bahasa Melayu dengan baik sehingga membolehkannya mendapat keputusan yang cemerlang dalam subjek tersebut.\nTambah menarik lagi, YB Dato\u2019 Dr. Mah Hang Soon turut menceritakan pengalamannya yang menjadikan budaya membaca sebagai amalan untuk berjaya.\nSaya masih ingat, meskipun saya bersekolah pada sesi petang, seawal pukul 9.00 pagi saya sudah berada di sekolah. Tujuannya adalah untuk membolehkan saya ke perpustakaan dan menghabiskan masa dengan membaca. Bahan bacaan yang menjadi pilihan saya sudah semestinya majalah DM\u00a0dan majalah terbitan DBP yang lain. Keadaaan ini menyebabkan ada guru yang berasa hairan dan menyangka saya sengaja tidak berada di dalam kelas, walhal saya bersekolah pada sesi petang.\u00a0Usaha saya ini ternyata berbaloi, saya berjaya menguasai bahasa kebangsaan itu hingga kini,\u201d ujarnya.\nPerjalanan kerjaya\u00a0 YB Dato\u2019 Dr. Mah Hang Soon, daripada Pakar Jantung\u00a0 sehingga \u00a0menjawat jawatan penting negara, iaitu sebagai Timbalan Menteri Pendidikan 1 dikongsikan beliau secara eksklusif dalam DM\u00a0Bil. 11/2021 yang kini berada di pasaran atau boleh dibeli secara dalam talian menerusi jendeladbp.my." "Titah TYDPA: Menghayati Semangat Keluarga Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\nSelepas 38 hari Timbalan Yang di-Pertuan Agong (TYDPA), Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyempurnakan tugas sebagai Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, pada detik 12.00 tengah malam ini, maka akan terlunaslah tanggungjawab yang diamanahkan kepada baginda. Bersempena dengan Istiadat Mengucap Selamat Berangkat, baginda berkenan menzahirkan titah di Dewan Seri Bendahara, Istana Negara, Kuala Lumpur pada pagi tadi.\n\u00a0\nYang berikut ialah Titah DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam Istiadat Mengucap Selamat Berangkat sambil mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama menghayati semangat \u201cKeluarga Malaysia\u201c.\nAssalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.\nBismillahirahmanirahim.\nSegala puji milik Allah SWT. Selawat dan kesejahteraan ke atas Rasul junjungan, Nabi Muhammad SAW, demikian juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya ke atas para tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan sehingga hari kebangkitan.\n2. Dengan penentuan Allah SWT, berpandukan Perkara 33, Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa Sabtu, 11 Safar 1443 bersamaan 18 September 2021, hamba-Mu ini, diamanahkan dengan tanggungjawab untuk menyempurnakan tugas-tugas Kepala Utama Negara bagi Persekutuan.\n3. Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri sebaik diamanahkan memimpin negara,\u00a0 memilih pendekatan pimpinan berasaskan konsep kekeluargaan lalu mengetengahkan istilah \u201cKeluarga Malaysia\u201c. Perkataan \u201ckeluarga\u201c, mempunyai konotasi saling membantu, saling menghormati, saling berkunjung, saling berinteraksi, saling berhubung, saling berdialog, saling memberi dan saling menerima serta saling bermaafan dalam suasana mesra dan berkasih sayang; komponen-komponen yang melukiskan keharmonian.\n4. Semakin besar saiz keluarga, semakin kompleks cabaran yang dihadapi, kerana bilangan ahli keluarga yang ramai semestinya dikembari dengan suara yang semakin banyak, selera yang semakin rencam dan keperluan yang semakin pelbagai. Keluarga Malaysia ialah keluarga yang besar. Menjadi ketua kepada sebuah keluarga besar memerlukan kesabaran, keupayaan, tumpuan dan kegigihan untuk melaksanakan seadil-adil pertimbangan kepada seluruh ahli keluarga secara bijaksana.\n5. Orkestra yang besar mengandungi pelbagai instrumen yang memiliki pelbagai bunyi. Lebih besar orkestra, lebih banyak instrumen dihimpunkan. Setiap instrumen memiliki bunyi tersendiri, dengan gaya mengeluarkan bunyi yang berlainan, sama ada secara tiupan, gesekan, petikan, tekanan atau pukulan. Tidak ada instrumen yang dianggap tidak penting, malah setiap instrumen dilihat sebagai aset tambahan yang akan memperkayakan orkestra. Pemimpin orkestra yang hebat menghargai setiap bunyi daripada setiap instrumen, lebih banyak instrumen, lebih banyak bunyinya, lebih hebat pula melodinya jika berjaya diharmonikan. Pemimpin yang bijaksana boleh mengambil pengajaran daripada kejayaan seorang pemimpin orkestra, berupaya menggabungkan instrumen yang pelbagai bunyi dalam simfoni yang harmoni. Amalan yang menghargai setiap insan sebenarnya telah lama ada dalam budaya Melayu, terserlah dalam bidalan yang tidak menyisihkan sesiapa:\n\u00a0\n6. Bermakna konsep keluarga, bukan konsep asing bagi kita. Konsep keluarga telah sedia berakar dan subur meranting dalam budaya bangsa. Konsep keluarga merupakan konsep yang terkandung dalam ajaran Islam, selaras dengan ayat ke-10 dalam Surah al-Hujurat yang bermaksud:\nSesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.\n7. Firman Allah SWT diperlengkap dengan sabda Rasulullah SAW, daripada Abu Hurairah r.a. bermaksud:\n8. Masyarakat Melayu turut mengutamakan ikatan persaudaraan dalam semangat kekeluargaan seperti yang terserlah dalam bidalan Melayu, \u201cbiduk berlalu kiambang bertaut\u201d, \u201ccarik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga\u201d, \u201cair dicencang tidakkan putus\u201d.\nSemangat kekeluargaan turut membentuk budaya menghargai orang terdahulu yang pernah berjasa dan budaya tidak bersifat kacang lupakan kulit, berpandukan ungkapan:\n\u00a0\n9. Budaya menghargai pemimpin terdahulu diserlahkan melalui sifat kekeluargaan Rasulullah SAW ketika bertemu rasul terdahulu semasa peristiwa Israk Mikraj; meskipun Baginda berstatus penghulu segala rasul, Baginda memperlihatkan sifat rendah diri, menghormati pandangan rasul terdahulu yang menasihatkan Baginda untuk memohon ihsan Ilahi, mengurangkan kewajipan mendirikan solat daripada 50 waktu kepada lima waktu sehari semalam.\n10. Kesediaan Rasulullah bermusyawarah dengan para rasul terdahulu telah meringankan beban ummah pada hari ini. Bermusyawarah dan bersyura adalah sebahagian daripada amalan Rasulullah SAW serta sangat dianjurkan oleh Islam; dan merupakan budaya yang lazim diamalkan dalam keluarga untuk mencapai kata sepakat ketika menguruskan hal ehwal keluarga daripada urusan prakelahiran, kelahiran, perkahwinan, kematian dan pascakematian. Bermusyawarah dan bersyura juga merupakan tradisi dan amalan takhta dan kerajaan Raja-raja Melayu, terutama ketika menghadapi situasi yang belum ada duluan. Dalam semangat bermusyawarah dan bersyura itulah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dari masa ke masa mempersilakan kehadiran Raja-raja Melayu berangkat ke Istana Negara pada waktu baginda berhasrat mendapatkan nasihat dan pandangan, apatah lagi jika sesuatu urusan itu boleh menyentuh kuasa Raja Pemerintah di negeri; dengan kesedaran bahawa YDPA itu secara harfiahnya bermaksud \u201cDia Yang Terulung dalam Kalangan Kami\u201c, iaitu, primus \u00a0inter pares. Baginda bersemayam di takhta Kerajaan Persekutuan, mewakili Raja-raja Melayu.\n11. Dalam hasrat menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia, amatlah penting diberikan keyakinan bahawa setiap warga ada tempat dalam keluarga besar ini; amalkan budaya terbuka, bersedia menerima perbezaan pendapat dan kelainan pandangan, begitu juga menghargai perbezaan pendekatan dan perbezaan kaedah, agar tercapai nanti secara konsensus pendapat, pandangan, pendekatan dan kaedah terbaik untuk manfaat negara dan warga. Suara yang berbeza sewajarnya diberikan ruang untuk boleh diluahkan kerana rintihan hati yang dikurung berpotensi menyalakan bara marah dan mengalirkan lava dendam yang lebih volkano sifatnya.\n12. Jadikan iktibar hikmah kepimpinan Rasulullah SAW tanpa perlu menggunakan kekerasan tetapi melalui contoh teladan yang baik, telah berjaya mengubah pendirian Sayidina Umar ibni Khatab, Khalid ibni Walid dan Abu Sufyan daripada seteru menjadi sahabat, yang sedia berkorban harta dan nyawa berjuang bersama-sama Baginda.\n13. Dalam \u00a0tempoh \u00a0memenuhi \u00a0amanah\u00a0 Kepala \u00a0Utama \u00a0Negara, selain sesi menghadap sebelum berlangsungnya mesyuarat Jemaah Menteri, YAB Perdana Menteri turut mengadakan beberapa sesi menghadap, untuk menyembah maklum, berbincang, bertukar pandangan dan memohon panduan juga nasihat mengenai urusan negara. Sesi menghadap tersebut berlangsung dalam semangat kekeluargaan.\n14. Pada detik 12.00 tengah malam nanti, berakhirlah tempoh tanggungjawab yang diamanahkan kepada beta menjalankan tugas-tugas Ketua Utama Negara. Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, kerana dalam kesibukan tugas, masih bersedia meluangkan masa meraikan beta untuk mengadakan istiadat selamat berangkat dalam semangat pergi berkhabar \u2013 pulang berberita. Semoga Allah SWT senantiasa melimpahkan nur penyuluh membantu YAB melakukan yang makruf, dan mendirikan dinding penghalang daripada dipengaruhi melakukan yang mungkar; semoga YAB dikurniakan hidayah dan kekuatan ketika dihempas badai ujian dan disemaikan rasa syukur dan takwa ketika berada di puncak kejayaan. Memandangkan isteri YAB ialah rakyat DYMM Paduka Seri Sultan Perak, intai-intailah kami di negeri Perak, kalau ada kupang yang lebih, hendaknya ada juga bahagian untuk negeri Perak.\n15. Sampaikan \u00a0salam \u00a0terima \u00a0kasih \u00a0kepada \u00a0ahli-ahli \u00a0Jemaah Menteri yang telah memberikan perhatian kepada titah-titah yang beta zahirkan melalui Perdana Menteri. Beberapa orang Menteri telah mengambil tindakan susulan; ada yang menghadap beta untuk menyembah maklum balas. Beta menzahirkan penghargaan kepada Ketua Setiausaha Negara dan pegawai-pegawai kerajaan yang membantu beta dengan membekalkan maklumat serta menyembah nasihat sebelum beta memperkenankan sesuatu keputusan, begitu juga kepada para pegawai dan petugas Istana Negara yang telah memudahkan beta menyempurnakan tugas dalam tempoh masa beta diamanahkan tanggungjawab Kepala Utama Negara.\n16. Semoga hubungan harmoni terus terjalin antara Istana Negara dan Putrajaya dalam semangat saling memahami \u2013 saling menghormati.\n17. Kepada Allah SWT, hamba-Mu yang kerdil ini mohon keampunan sekiranya hamba-Mu ada melakukan kealpaan dan kesilapan ketika menyempurnakan amanah ini; hamba-Mu mohon dilepaskan daripada menghadapi persoalan berat ketika berhadapan dengan-Mu Ya Allah di padang Mahsyar nanti. Ya Allah! Ya Rabbal \u2018Alamin! Bimbinglah para hamba-Mu yang lemah ini menemui siratulmustakim.\nWabillahi taufik wa al-hidayah\nWassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.\nDemikianlah titah DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam majlis tersebut pada pagi ini. Semoga titah baginda ini dijadikan pedoman oleh seluruh lapisan masyarakat dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai sebahagian daripada keluarga besar Malaysia seiring dengan konsep \u201cKeluarga Malaysia\u201c yang dibawa oleh YAB Perdana Menteri." "Keputusan SPMU 2021 Diumumkan pada 3 November\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada hari ini memaklumkan bahawa keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) tahun 2021 akan dikeluarkan pada 3 November 2021 (Rabu) mulai pukul 10.00 pagi.\nMenurut KPM, calon boleh membuat semakan keputusan melalui kaedah berikut:\nKPM turut memaklumkan, bagi calon yang tidak mempunyai capaian Internet, calon boleh berhubung dengan pihak jabatan pendidikan negeri masing-masing untuk mendapatkan keputusan peperiksaan SPMU tahun 2021." "Murid Kelas Peperiksaan Awam dan Antarabangsa Dibenarkan Hadir Tanpa Penggiliran\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2012 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan bahawa institusi pendidikan bawah KPM bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa dibenarkan beroperasi tanpa penggiliran mulai 8 November 2021 jika telah mencapai kadar vaksinasi lengkap sebanyak 90 peratus atau lebih.\nMenurut KPM, keputusan ini dibuat hasil perbincangan bersama-sama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara dengan mengambil kira kadar vaksinasi dalam kalangan murid kelas peperiksaan.\nDalam satu kenyataan media pada hari ini, KPM menjelaskan, \u201cPengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa hadir tanpa penggiliran pada 8 November ini melibatkan kedua-dua kumpulan negeri, iaitu Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya) memandangkan 7 November 2021 merupakan cuti tambahan bersempena dengan perayaan Deepavali yang diperuntukkan dalam Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021 bagi sekolah bawah KPM.\u201d\n\nTambah KPM, \u201cPengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi kelas peperiksaan awam dan antarabangsa melibatkan kehadiran murid kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, serta kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) dan murid kelas peperiksaan antarabangsa yang lain.\u201d\nDalam pada itu, KPM turut menjelaskan, \u201cBagi institusi pendidikan bawah KPM yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa, pengoperasian kekal secara penggiliran. Walau bagaimanapun, murid prauniversiti semester tiga di Sekolah Sukan Malaysia, murid kelas peperiksaan awam di sekolah berasrama sepenuhnya dan murid kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) kekal hadir tanpa penggiliran.\u201d\n\u201cKPM akan terus memantau dan mengemas kini senarai institusi pendidikan yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa. KPM akan mengeluarkan senarai terkini institusi pendidikan bawah KPM yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus pada setiap hari Rabu,\u201d tambah KPM.\nDalam kenyataan media tersebut, KPM turut menjelaskan institusi pendidikan bawah KPM yang dinyatakan turut merujuk institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat. KPM menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuklah institusi pendidikan bawah kerajaan negeri.\nKPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik." "Bunuh Diri dalam Kalangan Remaja, di Manakah Silapnya?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPolis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan bahawa jumlah kes bunuh diri di Malaysia dari Januari 2019 hingga Mei 2021 ialah 1708 kes. Daripada jumlah tersebut, golongan remaja dalam lingkungan umur 15 hingga 18 tahun yang membunuh diri ialah 872 kes. Hal ini bermakna, 51 peratus daripada keseluruhan kes bunuh diri sejak dua tahun yang lalu terdiri golongan remaja yang belum pun mencecah umur majoriti di bawah Akta Kanak-kanak 2001. Dengan erti kata lain, 872 kes bunuh diri di Malaysia ialah golongan kanak-kanak yang sedang meniti usia remaja. Daripada keseluruhan 1708 kes juga, 1427 daripadanya terdiri kaum wanita. Dengan 51 peratus kes terdiri daripada remaja, dan 84 peratus kes terdiri daripada wanita, maka dapat kita simpulkan bahawa majoriti kes bunuh diri di Malaysia melibatkan gadis remaja.\nTalian Kasih 15999 yang dikelolakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melaporkan mereka menerima sebanyak 153 024 panggilan sepanjang tahun 2020 berbanding dengan 25 868 panggilan pada tahun 2019 \u2012 lonjakan panggilan hampir enam kali ganda. Jelas bahawa lonjakan ini berkait langsung dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bermula pada 16 Mac 2020. Dalam pada itu, kenyataan media oleh wakil Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Malaysia, Dr. Rashed Mustafa menyebut bahawa PKP mengakibatkan kesan negatif ke atas remaja yang menyaksikan peningkatan kes bunuh diri hampir dua kali ganda secara purata dalam tempoh lima bulan pertama 2021, iaitu 94 kes sebulan berbanding tahun 2019 sejumlah 51 kes sebulan. Antara faktor yang disebut, remaja yang tinggal sebumbung dengan ketua keluarga atau ahli keluarga yang mengganas (abuser) sudah tidak ada jalan keluar. Sekiranya sebelum PKP, alasan pergi ke sekolah atau keperluan aktiviti di sekolah diberikan kepada si pengganas untuk mengelak daripada dipukul atau dianiaya secara fizikal, emosi dan mental. Namun demikian, sepanjang PKP, alasan tersebut tidak dapat diterima oleh si pengganas yang tinggal sebumbung dengan remaja tersebut.\nBerdasarkan siasatan PDRM, tiga faktor utama punca bunuh diri\u00a0 ialah masalah keluarga, tekanan perasaan dan kekangan kewangan. Pakar kesihatan mental pula berpendapat bahawa remaja yang bertindak membunuh diri jarang-jarang mengambil keputusan tersebut disebabkan oleh hanya satu sebab, sebaliknya berpunca daripada rentetan beberapa faktor yang pada akhirnya menyebabkan mereka yang bertindak sedemikian berasa sudah tiada jalan keluar lagi untuk menyelamatkan maruah diri dan keselamatan nyawa. Bagi mangsa rogol dan sumbang mahram, mereka takut untuk melaporkan kejadian tersebut, apatah lagi ketika semua pergerakan keluar dari rumah dilarang ketika tempoh PKP. Remaja yang dipukul atau menjadi sasaran si ayah atau ibu (atau pasangan intim ayah atau ibu yang sudah bercerai) yang ganas pula tiada pilihan selain tinggal sebumbung dengan si pengganas di rumah.\nDi Perancis, wanita yang menjadi mangsa keganasan daripada suami, pasangan intim atau pun ketua keluarga mereka akan menggunakan kod rahsia yang disampaikan kepada juruwang di farmasi sebagai petunjuk bahawa mereka sedang dalam keadaan bahaya. Wanita tersebut akan diberikan perlindungan serta-merta dengan kehadiran pihak berkuasa agar mangsa berkenaan diselamatkan. Kita tidak mempunyai sokongan seperti ini buat remaja yang berdepan dengan keganasan di rumah.\n\nAda pihak yang memberikan alasan bahawa keganasan dalam rumah berlaku disebabkan kesan riak (ripple effect) apabila ayah atau ibu mengalami stres yang keterlaluan lalu melampiaskan tekanan tersebut kepada si anak. Situasi ini disebut sebagai tekanan mental atau stres melampau yang dialami oleh ketua keluarga tatkala PKP berkuat kuasa, mungkin disebabkan si bapa atau ibu kehilangan kerja dan sebagainya. Namun demikian, perkara ini tidak boleh dilihat hanya sebagai konflik keluarga semata-mata. Seseorang ayah, ibu atau sesiapa sekalipun tidak berhak melepaskan kemarahan mereka ke atas anak-anak.\nSelain itu, sekolah bukan sekadar tempat remaja kita menimba ilmu dan membina kemahiran sosial, bahkan dunia persekolahan itu sendiri merupakan ruang tempat remaja berlindung daripada keganasan yang berlaku dalam keluarga. Sesebuah sekolah itu dikatakan selamat dengan kehadiran guru besar dan guru yang amnya prihatin dan baik tingkah laku mereka, maka sekolah itu menjadi tempat remaja berlindung. Di sinilah mereka bertemu dengan kawan dan meluahkan perasaan, selain ada guru prihatin yang dapat mengesan sekiranya terdapat perkara yang tidak baik sedang berlaku ke atas murid. Dengan erti kata lain, sekolah ialah satu unit masyarakat yang organik dengan fungsinya tersendiri dalam pembinaan identiti remaja. Apabila sekolah ditutup dan murid terpaksa tinggal sebumbung dengan pelaku keganasan tanpa ada ruang bernafas di sekolah atau sentiasa kelaparan di rumah, ada remaja yang tidak mampu menanggung derita tersebut.\u00a0 Usia 18 juga usia signifikan bagi remaja kerana pada usia inilah berlaku peralihan besar dari segi tamatnya sekolah dan berakhirnya identiti sebagai murid sekolah. Justeru, usia yang kritikal ini perlu dititikberatkan dalam usaha membendung remaja daripada mengambil jalan mencabut nyawa sendiri apabila berasa sudah tiada hala tuju dalam kehidupan mereka.\nFaktor penting yang kita sering terlepas pandang ialah kos sesi kaunseling atau terapi dengan kaunselor. Kos saringan kesihatan mental dan terapi bersama-sama seorang kaunselor atau pakar di Malaysia tersangat mahal, dengan harga satu sesi saringan untuk 45 minit sahaja tidak kurang daripada RM100 bagi setiap sesi. Penulis menghubungi lima buah tempat yang menawarkan sesi kaunseling atau sesi bersama pakar psikologi klinikal di sekitar Selangor dan Lembah Klang, dan tidak ada satu pun daripada mereka yang menawarkan harga satu sesi (30 minit atau 45 minit) yang kurang daripada RM150, biarpun kaunselor tersebut menawarkan kaunseling berasaskan pendekatan Islam. Mana mungkin remaja daripada keluarga berpendapatan rendah mampu membayar untuk sesi tersebut. Hatta, remaja daripada keluarga berpendapatan sederhana sekalipun belum tentu dapat membayar kos kaunseling yang amat tinggi itu.\nSekiranya kita benar-benar serius menangani isu ini, perlu ada jalan penyelesaian yang pantas dan pintas untuk mengekang isu bunuh diri dalam kalangan remaja.\u00a0 Lagi pula, isu bunuh diri ini bukan masalah ketika pandemik semata-mata kerana sebelum pandemik sekalipun, kes bunuh diri di Malaysia pada tahun 2019 sudah mencecah purata 51 kes sebulan \u2012 angka yang cukup tinggi.\nJelas, ini petanda berlaku kepincangan dalam hal ehwal remaja kita yang perlu ditangani dengan segera. Kita perlukan dana untuk menyediakan tempat perlindungan selamat bagi remaja yang berasa tidak selamat di rumah masing-masing dengan lokasi mereka dirahsiakan untuk tujuan keselamatan mereka." "Evolusi Tulisan dan Kata dalam Bahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Buku Revolusi Bahasa dan Asas Tamadun memperlihatkan perkembangan sejarah bahasa dalam tamadun awal manusia menerusi bukti sejarah yang ditinggalkan seperti batu bersurat epik Gilgamesh, yang berusia sekitar 4000 tahun Sebelum Masihi. Demikian menurut YBhg. Profesor Dr. Solehah Yaacob, yang merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Falsafah Tatabahasa Arab yang berkongsi banyak maklumat menerusi buku tersebut.\nTambahnya lagi, menerusi bukti yang ada, penggunaan bahasa Mesopotamia terawal, iaitu bahasa Akkadiah yang ditulis dalam tulisan paku (Mismariyyah) dapat dikesan. Melalui tulisan yang terdapat pada batu bersurat tersebut, bahasa dan tulisan mengalami proses evolusi sehingga lahirnya bahasa al-Quran (bahasa Arab) dan dikenal pasti tamadun bangsanya. Ahli sejarah bahasa juga mempercayai bahawa evolusi tulisan dan kata dalam bahasa berlaku seiring dengan perubahan pemikiran umat dan bangsanya ketika itu.\nGenerasi baharu perlu didedahkan kepada sejarah nabi. Justeru, kita perlu memberikan maklumat yang jelas kepada generasi baharu supaya mereka tidak terpesong dengan maklumat yang diberi oleh Barat yang tidak benar. Terjemahan bahasa Arab yang dibuat sebelum ini banyak yang tidak betul dan menyebabkan banyak fakta yang terpesong.\nMenurutnya lagi, kemunculan para nabi sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW membuktikan kebenaran agama tauhid Allah SWT menerusi suhuf Ibrahim, Zabur, Taurat, dan Injil. Dengan kata lain, buku ini cuba membongkarkan maklumat silam tentang asal usul bahasa al-Quran, iaitu bahasa Arab Fushah yang berkait rapat dengan tamadun bangsanya.\nMajlis \u201cBicara Buku Revolusi Bahasa dan Asas Tamadun\u201d yang berlangsung di Bilik Kuala Lumpur, Aras 5, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada pukul 12.00 tengah hari tadi dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Bahasa. Penganjuran majlis ini yang bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur turut menampilkan Encik Abdul Ghani Abu, Ketua Bahagian Buku Sekolah sebagai pemudah cara.\nTurut hadir dalam majlis tersebut ialah Dr. Abang Patdeli Abang Muhi (Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP), YM Tengku Fuziah Ku Mat (Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa, Jabatan Penerbitan DBP), ahli akademik, mahasiswa universiti dan para pengunjung pesta buku." "Pihak Sekolah Boleh Memeriksa Sijil Digital Vaksinasi Guru\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAyer Molek \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membenarkan pihak sekolah menjalankan pemeriksaan terhadap sijil digital vaksinasi guru bermula pada hari ini. Menurut Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin, hal ini bagi mengelakkan guru yang masih enggan divaksin (selain faktor kesihatan) melakukan penipuan.\nBeliau berkata, \u201cMulai hari ini, pihak sekolah akan memeriksa sijil vaksinasi bagi memastikan hanya guru yang sudah menerima dos lengkap vaksin yang datang mengajar. Kita tidak mahu ada kes tertentu apabila guru mengatakan bahawa mereka sudah divaksin, tetapi sebenarnya tidak.\u201d\nMengulas lanjut mengenai perkara ini, YB Datuk Dr. Radzi berkata, langkah ini sejajar dengan pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan pengambilan vaksin dalam kalangan penjawat awam sebelum 1 November 2021.\n\u201cOleh itu, KPM akan memastikan pihak sekolah menyemak sijil digital vaksinasi setiap guru bagi memastikan data terkini yang ada, iaitu pada 1 November, bagi guru yang enggan menerima vaksin merupakan data yang tepat. Hal ini membolehkan sebarang tindakan yang diambil selepas ini dilaksanakan berlandaskan data yang tepat,\u201d katanya.\nTambah YB Datuk Dr. Radzi, KPM amat tegas dalam soal vaksinasi dalam kalangan guru kerana hal ini mengambil kira aspek ekosistem pendidikan negara. Beliau berkata, \u201cKita perlu faham bahawa guru ini sentiasa bersama-sama murid. Selain melibatkan murid, hal ini turut melibatkan ibu bapa. Jadi, mereka perlu bersama-sama mewujudkan persekitaran persekolahan yang selamat dan meyakinkan.\u201c\n\u00a0\nAmat penting untuk guru memastikan bahawa diri mereka menerima vaksin.\nKatanya lagi, \u201cHingga hari ini, data menunjukkan sudah ada pengurangan dalam bilangan guru yang enggan mendapatkan vaksin. Akan tetapi, walaupun bilangan guru yang tidak mengambil vaksin ini tidak banyak, namun kesannya begitu besar terhadap kelancaran perjalanan sektor pendidikan negara.\u201d\nBeliau berkata demikian pada sidang media ketika mengadakan lawatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek, Melaka pada pagi tadi. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KPM, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof." "Belanjawan 2022: Pendidikan Berkualiti untuk Semua\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dengan bertemakan \u201cKeluarga Malaysia, Makmur Sejahtera\u201d, Belanjawan 2022 yang dibentangkan pada 29 Oktober 2021 mendukung tiga paksi utama, iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan. Dalam strategi memulihkan kehidupan dan mata pencarian, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan dalam inisiatif ketiga, iaitu Pendidikan Berkualiti untuk Semua.\n\nBerpegang kepada falsafah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjadi penerima peruntukan terbesar, iaitu sebanyak RM52.6 bilion atau 16 peratus daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan Persekutuan. Sudah pasti hal ini menggembirakan warga KPM sendiri kerana melalui pendidikanlah generasi muda dididik sebagai pemimpin masa hadapan. Perkara utama yang dititikberatkan dalam belanjawan kali ini ialah persiapan anak-anak ke sekolah secara bersemuka pada tahun 2022. Umum sedia maklum, selepas sekian lama menjalani pengajaran dan\u00a0 pembelajaran di rumah (PdPR), keperluan anak-anak kembali ke sekolah perlu disediakan seperti sebelum pandemik COVID-19 melanda negara. Baju dan kasut yang tidak lagi muat perlu diganti baharu. Sehubungan dengan itu, kerajaan memperuntukkan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 untuk dimanfaatkan oleh 3 juta murid yang layak seterusnya meringankan beban ibu bapa khususnya yang terjejas akibat pandemik.\nApabila sesi persekolahan bersemuka bermula dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh KPM, sudah tentu suasana pembelajaran yang kondusif untuk murid amat diperlukan. Peruntukan sebanyak RM1.0 bilion disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah. Hal ini meliputi sekolah tahfiz, institusi pondok yang berdaftar, sekolah agama rakyat, dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK). Sekolah daif juga tidak ketinggalan apabila peruntukan untuk menaik taraf sekolah tersebut juga dinaikkan. Sekolah berkeperluan khas turut diberikan perhatian dalam usaha memperkasa agenda pendidikan khas. Maka itu, kerajaan menyediakan sebanyak RM50 juta bagi membiayai pembelian peralatan mengajar dan menambah baik kemudahan sekolah berkeperluan khas.\n\u00a0Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar sebanyak RM100 disediakan untuk 400 ribu\u00a0 guru sekolah di KPM. Hal ini sebagai menghargai jasa guru yang menyediakan bahan mengajar tambahan kepada murid semasa tempoh pandemik. Umum mengetahui sewaktu PdPR berlangsung, para guru memainkan peranan mereka dalam memastikan setiap anak murid tidak tercicir daripada mendapat pendidikan formal.\nDengan perhatian yang diberikan oleh kerajaan terhadap KPM, diharapkan\u00a0 tahun 2022 akan memberikan sinar kepada warga KPM khususnya murid dan guru yang kembali menjalani pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dengan SOP yang ketat. Kepentingan dan keselamatan murid dan warga sekolah akan sentiasa menjadi keutamaan KPM walaupun negara akan beralih ke fasa endemik akan datang." "Kelonggaran Pelajar Tidak Berpakaian Seragam ke Sekolah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPANCHOR \u2013 Pihak sekolah dinasihatkan agar memberi kelonggaran kepada pelajar untuk tidak berpakaian seragam apabila hadir ke sekolah. Sebaliknya, memadai dengan berpakaian kemas dan sopan.\nMenurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd. Radzi Md. Jidin, pihak sekolah sudah dimaklumkan tentang perkara tersebut, namun masih terdapat segelintir guru yang menetapkan syarat agar pelajar wajib memakai pakaian seragam dengan lengkap apabila hadir ke sekolah.\nJusteru saya ingin menegaskan bahawa bagi tempoh hingga akhir tahun ini, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membenarkan para pelajar memakai sebarang pakaian yang bersesuaian, sopan dan kemas,\u201c kata Datuk Mohd. Radzi selepas melakukan pemantauan persiapan pembukaan sekolah di Sekolah Kebangsaan Semaseh, Panchor, Johor.\nTambah beliau lagi, pihak sekolah seharusnya memudahkan urusan kehadiran pelajar ke sekolah berikutan kekangan yang dihadapi golongan ibu bapa akibat kesan pandemik COVID-19 yang melanda, terutamanya keluarga yang kurang berkemampuan.\nSelain itu, Datuk Mohd. Radzi turut menyarankan agar semua sekolah di negeri yang akan memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) memberi perhatian khusus terhadap aspek pengudaraan di dalam bilik guru dan bilik darjah.\nDalam perkembangan yang lain, Datuk Mohd. Radzi berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) telah selesai melengkapkan pemilihan dan pengambilan guru secara sekali beri untuk Fasa 1 bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru.\nMenurut Datuk Mohd. Radzi, kriteria pemilihan dan pengambilan guru berdasarkan latar belakang calon yang mahir mengajar subjek penting di sekolah serta calon yang mempunyai latar belakang dalam pengajian pendidikan." "Iktibar buat Pembuli\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSetelah menunggu hampir empat tahun, pada akhirnya Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa 18 tertuduh didapati bersalah atas pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain yang menemui ajal akibat kecederaan parah. Ketika kejadian pada tahun 2017, Zulfarhan baru berusia 21 tahun.\nKematian Zulfarhan membongkar dan mengheret 18 orang rakan sepengajiannya sendiri yang tergamak menyeksa mangsa sehingga membawa maut. Apa-apa yang berlaku merupakan tragedi yang cukup menyedihkan, malah menyaksikan harapan ibu bapa yang mahu melihat anak berjaya hancur hanya kerana satu peristiwa. Akibat terikut-ikut dengan budaya buli, sekumpulan mahasiswa terlibat dengan satu pembunuhan tragis yang menggemparkan negara.\nPada akhirnya, kematian Zulfarhan memperoleh pembelaan yang sewajarnya apabila Hakim menjatuhkan hukuman 18 tahun penjara ke atas enam orang suspek utama. Mereka terlepas hukuman gantung kerana didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan tanpa niat membunuh. Hakim, Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali selepas mendapati kesemua mereka bersalah mencederakan Zulfarhan sehingga menyebabkan kematian.\nBerikutan dengan itu, keenam-enam mereka yang sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, iaitu menyebabkan kematian terhadap Zulfarhan. Dalam pada itu, keenam-enam mereka turut didapati bersalah bersama-sama 12 orang lagi tertuduh atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.\n\nPada hakikatnya, apa-apa yang berlaku ke atas Zulfarhan wajar dijadikan peringatan dan iktibar oleh semua khususnya individu yang suka membuli. Ini bukan kes buli pertama berlaku di negara ini, malah sebelum ini sudah pernah ada kes buli sehingga mangsa meninggal dunia atau mengalami pelbagai komplikasi kesihatan dan kecederaan fizikal serta mental yang teruk.\nPerbuatan buli boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu buli secara mental dan buli secara fizikal. Antara perbuatan buli secara mental termasuklah pelaku suka kutuk-mengutuk, ejek-mengejek, dan menyindir mangsa secara berterusan dan boleh jadi sepanjang masa sehingga menjejaskan emosi dan perasaan mangsa, manakala buli secara fizikal melibatkan tindakan agresif seperti pukul dan sepak serta menggunakan peralatan lain untuk mencederakan mangsa. Kes Zulfarhan tergolong dalam kategori ini. Selain itu, berlaku juga buli secara tidak langsung seperti buli siber dan juga buli secara lisan.\nApa-apa yang pasti, perbuatan buli meninggalkan kesan yang cukup mendalam ke atas mangsa khususnya dan menyebabkan gangguan kesihatan mental yang cukup serius. Mangsa akan berasa tertekan, murung, kesunyian, takut dan cemas, mempunyai harga diri yang rendah serta berfikir untuk membunuh diri atau cuba membunuh diri. Ringkasnya, buli boleh memberikan kesan terhadap kesihatan fizikal dan emosi dalam kehidupan sama ada untuk tempoh yang pendek atau berpanjangan.\nJusteru, perbuatan buli ini baik di sekolah mahupun di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu dihalang, dikekang dan ditangani sepenuhnya. Hal ini dikatakan demikian kerana secara prinsipnya, kita tidak mahu masyarakat terus melabel IPT dan sekolah terutamanya sekolah berasrama di negara kita tidak selamat. Persepsi negatif tersebut akan merugikan semua pihak dan merupakan satu penilaian yang tidak adil sama sekali kepada IPT dan juga sekolah berasrama di negara kita.\nDalam konteks ini, kita perlu melihat latar belakang pembuli terbabit. Pada kebiasaannya, mereka ini datangnya daripada keluarga yang bermasalah termasuk pernah didera oleh ahli keluarga semasa kecil. Hal ini dikatakan demikian kerana agak tidak logik apabila pelajar cemerlang yang layak masuk ke sekolah berasrama dan IPT boleh bertindak sangat agresif, kejam dan di luar batas kemanusiaan.\nNasib malang yang menimpa Zulfarhan dan beberapa orang mangsa buli sebelum ini sewajarnya membuka mata kita untuk bertindak lebih agresif bagi menangani isu ini. Di samping kita harap pihak sekolah berasrama dan juga IPT akan memperketat usaha yang sedia ada untuk menangani kes buli supaya dapat mencegah kejadian buli berlaku lagi, kita juga berharap agar para ibu bapa dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam mendidik dan membentuk anak mereka agar tidak menjadi pembuli. Perkara ini penting kerana asuhan di rumah ternyata akan memberikan impak yang lebih besar sebelum anak dididik dan dibentuk di sekolah dan juga IPT. Hal ini dikatakan demikian kerana antara punca anak menjadi pembuli adalah kerana kurangnya perhatian dan kasih sayang dalam keluarga, berasal daripada keluarga yang bermasalah, serta kurangnya didikan agama. Semua isu ini boleh diselesaikan oleh ibu bapa jika mereka benar-benar prihatin dan mengambil berat tentang anak masing-masing.\nPada masa sama, pihak sekolah dan IPT juga boleh memainkan peranan yang efisien dalam membantu menangani masalah buli ini. Elemen pendidikan boleh dijadikan senjata utama untuk membanteras gejala buli dalam kalangan murid di sekolah. Pihak sekolah dan IPT boleh menganjurkan pelbagai program dan aktiviti berbentuk kesedaran secara berkala dan konsisten supaya murid memahami fenomena buli ini secara menyeluruh.\nDalam pada itu, aspek pemantauan di asrama penginapan seperti pemeriksaan mengejut secara berkala serta langkah penguatkuasaan hukuman yang sewajarnya perlu diperkasakan supaya anak takut serta sedar perbuatan buli itu merupakan satu kesalahan yang besar. Dalam hal ini, besarlah juga harapan kita agar pihak sekolah mahupun IPT tidak sama sekali merahsiakan sebarang perbuatan buli yang berlaku di tempat masing-masing.\nSebelum lebih banyak lagi menjadi mangsa buli serta sebelum lahir lebih banyak lagi pembuli, eloklah semua pihak berganding bahu menjayakan agenda menangani masalah buli di negara kita. Semoga nasib malang yang menimpa Zulfarhan serta hukuman yang dikenakan terhadap pembulinya dijadikan iktibar dan peringatan kepada semua." "Peralihan Negeri ke Fasa Empat PPN: Ketetapan Pengoperasian Sekolah Bermula Dua Minggu Lagi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan media pada hari ini menyatakan bahawa KPM merujuk pengumuman YB Menteri Kanan Pertahanan pada 5 November 2021 berkaitan dengan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri Kedah, Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah yang berkuatkuasa pada 8 November 2021.\nSehubungan dengan itu, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM akan mengikut ketetapan pengoperasian Fasa Empat PPN yang akan bermula pada 21 November 2021 bagi negeri Kedah dan 22 November 2021 bagi negeri Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah.\nMenurut KPM, \u201cHal ini akan melibatkan kehadiran murid tahun satu hingga tahun enam di sekolah rendah serta kelas peralihan dan tingkatan satu hingga tingkatan empat di sekolah menengah.\u201c\nKPM turut menjelaskan bahawa institusi pendidikan bawah KPM dalam kenyataan media ini turut merujuk institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.\nKPM juga menyarankan ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuklah institusi pendidikan bawah kerajaan negeri.\nKPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik." "Pengoperasian Sekolah Negeri Fasa Empat PPN Tidak Dilaksanakan Secara Berperingkat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2012 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan kehadiran murid di negeri yang baru beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), iaitu Kedah, Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah pada 21 dan 22 November akan datang tidak dilaksanakan secara berperingkat, namun masih mengekalkan kaedah penggiliran.\nMenurut KPM, \u201cKeputusan ini diambil kira berdasarkan pemantauan dan penelitian KPM terhadap keadaan semasa pengoperasian sekolah secara bersemuka semenjak 3 Oktober 2021 lalu.\u201d\nDapatan daripada pemantauan dan penelitian menunjukkan bahawa pengoperasian sekolah berjalan dengan lancar dan teratur mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.\nSebelum ini, KPM memaklumkan bahawa kemasukan murid tahun satu hingga enam di sekolah rendah serta kelas peralihan dan tingkatan satu hingga empat di sekolah menengah adalah pada 21 November 2021 bagi negeri Kedah dan 22 November 2021 bagi negeri Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah.\nKPM turut memaklumkan, \u201cKehadiran murid dalam kumpulan tersebut di sekolah harian adalah mengikut kaedah penggiliran, manakala kehadiran murid di sekolah asrama sepenuhnya adalah tanpa penggiliran.\u201d\n\u201cPerincian mengenai kemasukan murid sekolah asrama sepenuhnya akan dimaklumkan oleh pihak sekolah kepada ibu bapa dan penjaga,\u201d jelas KPM.\nKPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik." "Persiapan Rapi Sebelum Pengoperasian Sekolah di Perlis \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan lima negeri, iaitu Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah beralih daripada Fasa Tiga ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Isnin lalu.\nMenerusi peralihan fasa tersebut, pengoperasian sekolah di Perlis melibatkan tingkatan 1 hingga tingkatan 4 di peringkat sekolah menengah serta tahun 1 hingga tahun 6 sekolah rendah akan bermula pada 22 November secara penggiliran. Kumpulan A akan memulakan persekolahan secara bersemuka pada 22 November manakala Kumpulan B adalah pada 29 November.\nSehubungan dengan itu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis menitahkan rakyat di Perlis terutamnya guru dan ibu bapa agar membuat persiapan yang menyeluruh sebelum pengoperasian sekolah bermula. Menurut baginda, Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia perlu dipatuhi dalam usaha untuk terus mengekang penularan virus COVID-19 dalam kalangan kakitangan sekolah dan pelajar sebaik-baik sahaja sesi persekolahan secara bersemuka dimulakan secara sepenuhnya.\nPihak sekolah di Perlis hendaklah membuat persiapan awal bagi memastikan persekitaran sekolah sentiasa selamat dan para guru bersedia sepenuhnya untuk pengoperasian institusi pendidikan pada PPN tidak lama lagi.\nHal ini demikian kerana hanya tinggal kurang daripada dua minggu sekolah di Perlis akan beroperasi semula pada Fasa Empat PPN yang melibatkan kehadiran murid tahun 1 hingga tahun 6, kelas peralihan dan tingkatan 1 hingga tingkatan 4.\nDalam membuat persiapan tersebut, baginda memberikan penekanan terhadap kepentingan keadaan pengudaraan yang secukupnya di kawasan sekolah terutamanya di bilik darjah, kawasan sekolah yang perlu sentiasa disanitasi, pemakaian pelitup muka dalam kalangan warga sekolah yang hadir ke sekolah, pengamalan penjarakan fizikal, penyaringan suhu badan dan penyediaan laluan pergerakan murid serta pematuhan peraturan semasa waktu rehat.\nPihak sekolah disarankan memulakan persediaan rapi segera bagi memastikan pembukaan sekolah secara bersemuka sepenuhnya ini berjalan lancar dan warga sekolah, murid-murid serta ibu bapa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.\nTitah baginda Tuanku Raja Muda lagi,\nSelain persiapan awal dan menyeluruh, penubuhan jawatankuasa untuk menguruskan prosedur pencegahan jangkitan COVID-19 di peringkat sekolah juga dapat membantu para pelajar menjalani sesi pembelajaran secara bersemuka dalam persekitaran yang kondusif dan selamat serta mengembalikan semangat untuk hadir secara bersemuka dengan rakan dan guru.\nBagi memastikan pengoperasian sekolah berjalan dengan lancar, baginda juga mengharapkan ibu bapa agar memberikan kerjasama kepada pihak sekolah untuk memastikan kehadiran penuh murid dan pada masa yang sama tidak menghantar murid yang bergejala ke sekolah.\nBaginda bertitah sedemikian selepas berkenan berangkat meninjau projek pembangunan jeti yang sedang dilaksanakan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran di Pengkalan Tok Kuning, Kayang dan kerja-kerja yang berkaitan sempena Program MAIPs Peduli baru-baru ini. Kerja-kerja tersebut melibatkan pengorekan alur masuk dan kemudiannya pembinaan persiaran pejalan kaki dan jeti di situ." "Buku Antologi Pantun: Teguh Integriti, Kukuh Pertiwi Dilancarkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Buku Antologi Pantun: Teguh Integriti, Kukuh Pertiwi yang terdiri daripada 191 pantun dilancarkan semalam, dengan harapan akan membantu usaha membina bangsa Malaysia yang bermaruh dan berintegriti.\nBuku yang diterbitkan oleh Pertubuhan Gagasan Minda Merdeka (GMM) setebal 111 halaman itu dilancarkan oleh mantan Timbalan Ketua Pengarah Pusat Governans dan Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff di sini, semalam.\nDalam ucapan majlis pelancaran itu, Dr. Anis berkata, \u201cPenerbitan buku antologi pantun ini menunjukkan bahawa kaedah yang pelbagai perlu digunakan dalam usaha mendidik masyarakat tentang integriti.\u201c\nTambah beliau, \u201cTidak semua orang yang sedar daripada mendengar khutbah Jumaat atau dalam majlis syarahan dan ceramah. Kalau khutbah Jumaat itu berhasil membentuk ummah, sepatutnya semua orang Islam jadi orang baik-baik belaka.\u201c\n\u201cOleh sebab itu, semasa saya di Institut Integriti Malaysia dahulu, kita mempelbagaikan cara dan saya bersama seorang teman, Izal Arif menghasilkan sebuah buku bertajuk Integriti: Keaslian dalam Kepelbagaian yang menghimpunkan semua kaedah yang telah kita gunakan,\u201c kata beliau.\nBeliau yang juga mantan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia berkata, \u201cAda orang yang belajar daripada melihat berbanding dengan mendengar manakala yang lain menggunakan kaedah lain mengikut kesesuaian dan keperluan masing-masing.\u201c\n\u201cJadi, untuk orang seperti itu kita perlukan kaedah yang berbeza. Ada yang belajar sambil mendengar lagu. Ada yang belajar sambil mengalami sendiri pelajaran hidup itu seperti experiential learning dan kaedah-kaedah lain. Pada hari ini, kita memilih pantun sebagai medium untuk kita mendidik masyarakat,\u201c kata beliau sambil menambah, \u201cBukan setakat mendidik masyarakat sahaja, malah penganjur mengharapkan pantun sebagai medium untuk membina bangsa Malaysia yang bermaruh dan berintegriti.\u201c\nSaya percaya harapan ini boleh dicapai.\n\u201cAkan tetapi, kita semua yang hadir pada majlis ini harus menjadi jaguh pelopornya. Kita harus mulakan menggunakan pantun sebagai cara untuk berbahasa,\u201c kata beliau lagi.\nDalam pada itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon yang menyempurnakan majlis penutupan program ini menasihatkan agar usaha dipertingkatkan bagi memupuk nilai integriti dalam kalangan masyarakat.\nBersempena dengan majlis pelancaran buku tersebut, turut diadakan Forum Memperkasakan Pantun sebagai Medium untuk Membina Bangsa yang Bermaruah dan Berintegriti, yang menampilkan ahli panel Pakar Sastera Tradisional, Mohamad Shaidan dan Aktivis Masyarakat dan Ahli Pasukan Teras Rasuah Busters, Dr. G. Manimaran, serta dimudahcarakan oleh Ketua Penyelenggara buku antologi pantun ini, Rabi\u2019ahtuladawyah Md. Saleh; beliau merupakan Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), merangkap Ketua Kluster Bahasa, Seni dan Budaya GMM.\nTurut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Dr. Awang Sariyan dan Penasihat Kehormat GMM, Muhammad Saedi Abdul Maad." "Biru demi Kesihatan Manusia dan Bumi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBumi akan menjadi planet asing bagi manusia menjelang 2500. Pemanasan global akan menjadikan Amazon sebagai gurun tandus, Barat Tengah Amerika dan India menjadi tempat paling panas di dunia untuk didiami.\nIni antara hasil kajian Dr. Christopher Lyon, penyelidik di McGill University yang diterbitkan oleh Global Change Biology mengenai penyelidikan dan tindakan perubahan iklim perlu menjangkau penanda aras 2100.\nCuba bayangkan keadaan bumi yang perlu dihadapi anak-anak dan cucu kita jika matlamat Perjanjian Paris (mengehadkan peningkatan suhu dunia berada di bawah paras dua darjah Celsius) gagal dicapai dan pelepasan gas rumah hijau semakin meningkat. Pastinya banyak tempat di muka bumi akan mengalami perubahan drastik. Kawasan yang kaya dengan ekosistem, tanah pertanian subur dan hutan menjadi padang tandus berpunca daripada kenaikan suhu yang tidak terkawal. Peningkatan suhu global menyebabkan kepanasan mencapai tahap yang boleh membunuh kehidupan di kawasan tropika yang paling banyak didiami manusia.\nPerubahan iklim mencipta pelbagai risiko kepada kehidupan manusia termasuk bekalan sumber makanan. Beban peningkatan suhu dan kepanasan amat berat bagi negara miskin terutamanya dari aspek kesihatan penduduk dan bekalan makanan. Menurut kajian yang dijalankan di Afghanistan, Bangladesh, Bhutan, India, Myanmar, Nepal, dan Pakistan pada bulan Jun 2020, kepanasan ekstrem akan memberikan kesan negatif pada badan manusia seperti gangguan sistem pernafasan dan kardiovaskular. Lebih membimbangkan lagi, kepanasan melampau jauh lebih berbahaya berbanding dengan kanser dan penyakit jantung yang amat digeruni.\nPun begitu, kesan yang paling ketara daripada pemanasan global dan perubahan iklim ialah simpanan bekalan makanan. Kepanasan melampau menyebabkan tanah subur menjadi tandus, tanaman makanan musnah sedangkan saban tahun populasi dunia meningkat dan dijangkakan menjelang tahun 2050 akan mencapai 10 bilion. Sementara itu, sebahagian besar penduduk di seluruh dunia sedang berdepan dengan masalah kekurangan zat makanan dan kebuluran. Bagi mengatasi masalah tersebut, satu sistem makanan cekap dan lestari perlu diwujudkan.\n\nPengurusan sistem makanan adalah penting kerana mempengaruhi tahap kesihatan manusia dan menyokong kelestarian alam sekitar. Membekalkan populasi dunia yang semakin meningkat dengan diet sihat daripada sistem makanan lestari merupakan suatu cabaran besar. Tidak dinafikan bahawa pengeluaran makanan dunia mampu memenuhi tuntutan kalori yang diperlukan populasi dunia. Pun begitu, hal ini sekadar memenuhi tuntutan pengambilan kalori, bukan menepati diet sihat. Oleh sebab itu, 820 juta penduduk dunia mengalami kekurangan zat makanan dan terpaksa mengamalkan diet berkualiti rendah. Hal inilah yang menjadi penyebab penyakit yang berkaitan diet seperti obesiti, penyakit koronari jantung, strok dan diabetes. Sudah sampai masanya tindakan segera perlu diambil untuk mengubah sistem makanan global.\nPertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menetapkan bahawa salah satu cabang penghasilan makanan dunia seharusnya daripada air. Gesaan itu dibuat dalam UN Summit of Food Systems yang bersidang secara maya di New York pada 23 September 2021. Transformasi sistem makanan yang sedang diusahakan ialah makanan biru bagi menyelamatkan bumi dan penyelesaian kepada masalah kebuluran dan kekurangan zat makanan.\nAdakah transformasi makanan biru mampu menjadi penyelamat planet bumi dan menghilangkan kelaparan? Itulah masalah yang amat menyesakkan fikiran saintis apabila berhadapan dengan perubahan iklim. Bagaimanakah makanan biru boleh mengenyangkan perut, melengkapkan nutrisi yang seimbang dalam tubuh manusia dan menyelamatkan bumi pada masa yang sama?\nPeningkatan suhu bumi mengakibatkan pelbagai malapetaka kepada kehidupan marin, migrasi spesies haiwan yang semakin bercelaru, hasil laut berkurangan dan peningkatan keasidan air laut. Hidupan air tawar juga tidak terkecuali kerana pemanasan global menyebabkan kemarau berpanjangan. Di bawah pengaruh perubahan iklim, pengeluaran makanan biru tidak dapat menyumbang kepada ekonomi dan sebagai bekalan makanan kepada penduduk dunia.\nItulah antara persoalan menjadi tumpuan dalam kajian terbaru Blue Food Assessment (BFA) yang menggabungkan lebih 100 saintis dari 25 institusi yang diketuai oleh Stockholm Resilience Centre di Universiti Stockholm University serta Universiti Stanford. Lima laporan penyelidikan memberikan tumpuan khusus tentang makanan biru yang akan menyeimbangkan makanan hijau pada masa depan.\nMakanan biru yang menjadi tumpuan termasuklah semua hidupan air sama ada laut, sungai mahupun kolam seperti ikan, haiwan bercangkerang dan alga. Makanan hijau yang dimaksudkan pula ialah makanan yang dihasilkan di daratan termasuk dari sumber pertanian dan penternakan.\nLima penyelidikan itu menumpukan kepada keupayaan makanan akuatik dalam dekad akan datang untuk menangani malnutrisi, mengurangkan kesan alam sekitar yang berpunca daripada sistem pengeluaran makanan dan mewujudkan peluang pekerjaan.\nIkan sebagai Penyelesai Masalah\nPengurangan kebergantungan terhadap pertanian dan penternakan untuk membekalkan sumber makanan? Setelah sekian lama kebergantungan penduduk dunia kepada dua sektor itu, kesannya kepada alam sekitar mula dikesan. Pertumbuhan pesat industri pengeluaran makanan dikesan sebagai penyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau yang menjadi salah satu penyebab perubahan iklim. Kajian mengenai pelepasan gas rumah hijau yang dijalankan dari tahun 1990 hingga tahun 2015 mendapati 34 peratus punca pelepasan gas rumah hijau adalah sistem makanan.\nMeskipun industri pengeluaran makanan begitu pesat, namun masih ada populasi dunia mengalami masalah malnutrisi dan obesiti. Berdasarkan kajian Combined Climate and Nutritional Performance of Seafoods yang terbit pada tahun 2019 dalam Jurnal of Cleaner Production, terdapat spesies makanan laut yang dapat menyelesaikan masalah malnutrisi dan obesiti di samping mengurangkan kesan perubahan iklim. Misalnya ikan hering dan makerel dikatakan dapat menyelesaikan masalah malnutrisi dan obesiti sekali gus mengurangkan kesan perubahan iklim.\nTerdapat juga makanan biru yang memberikan kesan besar terhadap iklim berbanding dengan nutrisi yang dibekalkan seperti udang, ikan patin dan ikan plak. Pun begitu, makanan biru masih lagi terbaik dalam membekalkan nutrisi dan menjaga kelestarian alam sekitar berbanding dengan ayam, lembu, kambing atau khinzir.\nBerbanding ayam, ikan trout mengandungi 19 kali ganda lebih banyak asid lemak omega 3; tiram dan kupang mempunyai 76 kali ganda lebih kandungan vitamin B-12 dan lima kali ganda zat besi. Cuma, masalah paling besar adalah harga makanan biru terlalu tinggi berbanding makanan hijau. Hal ini menjadi kekangan bagi penduduk dunia yang miskin. Masalah lain yang mungkin akan timbul ialah penangkapan ikan tanpa had dan kawalan hingga mengakibatkan ekosistem laut terancam.\nSistem Pengurusan Mampan\nTanpa pengurusan mampan, industri perikanan akan terjejas, spesies ikan berkurangan dan krisis makanan semakin memburuk. Masalah utama yang dihadapi dunia ketika ini ialah pengurusan perikanan yang buruk yang menjadi asbab hasil tangkapan berkurangan. Kajian ini diharap dapat mewujudkan satu polisi yang kukuh untuk menyeimbangkan antara populasi hidupan biru dan transformasi makanan biru bagi mengatasi malnutrisi.\nNegara seperti Denmark, Namibia, Amerika Syarikat, Mexico sudah memiliki sistem pengurusan perikanan mampan yang mampu mencipta persekitaran laut sihat dan menambah populasi ikan. Negara tersebut berjaya menambah hasil tangkapan dan dapat membekalkan lebih banyak makanan biru kepada penduduk dunia serta memperbaiki taraf hidup.\nKajian tentang revolusi makanan biru menangani perubahan iklim dan malnutrisi diterbitkan dalam jurnal Nature. Setiap makanan yang dipilih harus ada pertimbangan sama ada memberikan kesan kepada alam sekitar atau tidak. Dengan pertambahan populasi global mencecah 10 bilion menjelang 2050, maka bekalan makanan biru harus ditingkatkan dua kali ganda. Pergantungan kepada penangkapan ikan di laut sahaja tidak dapat memenuhi permintaan tersebut.\nBagi meningkatkan pengeluaran makanan biru, pelaburan inovasi dan memperbaiki pengurusan perikanan mampu menyelamatkan penduduk dunia daripada kelaparan. Sebagai contoh, peningkatan penawaran sebanyak 15.5 juta tan menyebabkan harga jatuh. Hal ini dapat mengurangkan masalah malnutrisi yang dihadapi oleh 166 juta penduduk dunia terutamanya yang berpendapatan rendah.\nBagi ahli ekologi marin di UC Santa Barbara\u2019s Bren School of Environmental Science and Management, Ben Halpern, kajian tersebut adalah yang pertama pernah dijalankan untuk melihat betapa besarnya peranan produksi makanan akuatik kepada kesihatan manusia secara global. Yang membuat saintis begitu teruja apabila mengetahui bahawa makanan akuatik ialah penyelesaian terbaik mengatasi masalah malnutrisi. Satu lagi usaha yang sedang diperjuangkan oleh saintis adalah untuk menjadikan makanan biru memiliki harga lebih rendah daripada makanan hijau seperti ayam, lembu dan produk tenusu.\nSecara umumnya, spesies akuakultur seperti tilapia, salmon, keli dan kap memberikan kesan kepada alam sekitar setanding ayam. Manakala spesies ikan kecil seperti sardin, ikan bilis, haiwan bercangkerang dan rumpai laut adalah paling baik kerana tekanannya kepada alam sekitar paling minimum berbanding ayam. Hal ini bermakna kepelbagaian sumber makanan dapat meningkatkan simpanan makanan dunia dan membantu petani berhadapan dengan risiko pemanasan global. Memilih makanan biru sebagai diet global menggantikan makanan hijau membawa dua keberuntungan, iaitu kesihatan manusia dan bumi terpelihara." "Sesi Persekolahan Penggal Tiga 2021/2022 Bermula pada 2 Januari 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada hari ini memaklumkan bahawa sesi persekolahan penggal tiga 2021/2022 akan bermula pada 2 Januari hingga 20 Mac 2022 bagi sekolah di negeri Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu).\n\u201cBagi sekolah di negeri Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya), sesi persekolahan penggal tiga 2021/2022 akan bermula pada 3 Januari hingga 20 Mac 2022,\u201c tambah KPM.\nJelas KPM, \u201cKalendar Akademik Sesi 2022/2023 akan bermula pada 21 Mac 2022 hingga 11 Mac 2023 bagi sekolah di negeri Kumpulan A dan pada 21 Mac 2022 hingga 12 Mac 2023 bagi sekolah di negeri Kumpulan B.\u201c\nKPM turut menyatakan, \u201cSesi persekolahan penggal tiga 2021/2022 dan kalendar akademik sesi 2022/2023 boleh dimuat turun melalui laman sesawang KPM\u00a0mulai hari Isnin, 15 November 2021.\u201c\nKPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik." "Kenali Budaya dan Masyarakat Malaysia dalam Tiga Bahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Cerita-cerita tentang budaya dan masyarakat Malaysia dapat dibaca melalui terbitan terbaharu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu siri bacaan dalam tiga bahasa. Siri ini menampilkan beberapa keistimewaan yang tersendiri. Pembaca bukan sahaja akan dapat mengenali budaya dan masyarakat Malaysia melalui cerita-cerita seperti Mawar untuk Ibu, Kebun Kelapa Ayah, Serai dan Pandan, Mari Terbang Bersamaku dan Nasi Lemak Ibu, malah dapat membaca dan mempelajari cerita ini dalam tiga bahasa, iaitu bahasa Melayu yang menggunakan tulisan Jawi, bahasa Inggeris dan bahasa Arab dalam satu cerita.\nBuku siri ini dibicarakan dalam Program Bicara Buku di reruai DBP, yang berlangsung pada pagi tadi bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022. Program Bicara Buku ini menampilkan Puan Hajah Che Siah Che Man atau lebih dikenali sebagai \u201cUmmi Jawi\u201d, iaitu penulis dan juga penggiat aktif Persatuan Pencinta Tulisan Jawi Selangor (Penjawis). Program ini turut menampilkan Puan Amira Husna Amin Hafiz sebagai pemudah cara.\nMenurut Che Siah, cerita-cerita yang ditulis dalam siri ini menampilkan cerita kekeluargaan dan dekat dengan para remaja selain menampilkan kisah yang menonjolkan budaya masyarakat Malaysia yang mungkin telah dilupakan. Contohnya, cerita tentang serai dan daun pandan. Remaja pada hari ini mungkin ada yang tidak mengenali daun pandan sedangkan daun pandan ini sering digunakan dalam masakan dan banyak ditanam di halaman rumah.\nMari Terbang Bersamaku pula mengisahkan dua orang adik-beradik yang membuat wau untuk menyertai pertandingan wau yang kini kurang dimainkan oleh remaja pada hari ini.\nIbu bapa atau pelajar bolehlah mendapatkan buku siri ini kerana bersifat ekonomik. Mereka boleh belajar tiga bahasa pada satu masa apabila mereka membaca buku ini. Hal ini dapat menambahkan penguasaan bahasa asing, iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Arab kepada mereka.\nMengulas lanjut tentang penggunaan tulisan Jawi dalam siri ini, penulis menjelaskan bahawa tulisan Jawi dipilih untuk menambah bahan pembacaan Jawi bagi remaja supaya tulisan Jawi ini tidak dilupakan dan dibaca oleh remaja.\nTulisan Jawi bukan hanya sekadar sistem yang dieja atau dibaca, sebaliknya tulisan Jawi itu jiwa bangsa Melayu yang mempunyai hubungan dari segi sejarah dan budaya bangsa Melayu. Kita perlu mengubah fokus pendekatan pengajaran Jawi kepada anak-anak di sekolah agar tulisan ini menjadi jiwa kepada diri mereka.\nProgram anjuran Bahagian Buku Bahasa, Jabatan Penerbitan, DBP ini bertujuan untuk mempromosikan tiga judul terbaharu dalam Siri Bacaan dalam Tiga Bahasa, Mari Terbang Bersamaku, Serai dan Pandan\u00a0dan Nasi Lemak Ibu. Program ini turut dihadiri Ketua Editor Buku Bahasa, YM Tengku Fauziah Ku Mat." "DBP Benteng Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nPutrajaya \u2013 Timbalan Menteri Pendidikan 1, YBhg. Dato\u2019 Dr. Mah Hang Soon berbesar hati dengan penghargaan yang diberikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terhadapnya. Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Bingkai Gambar baru-baru ini.\nDalam majlis tersebut, YBhg. Dato\u2019 merakamkan rasa terharu beliau kerana Majalah Dewan Masyarakat merupakan salah satu bahan bacaan utama beliau untuk memperbaiki penguasaan bahasa kebangsaan Malaysia, iaitu bahasa Melayu.\nSaya tidak menyangka saya akan menjadi penghias kulit depan kerana Majalah Dewan Masyarakat menjadi majalah kebanggaan saya sewaktu di bangku sekolah.\nYBhg. Dato\u2019 Mah berpandangan bahawa DBP telah menjalankan tugas memperkasakan bahasa kebangsaan melalui buku-buku dan majalah keluarannya. Bahan bacaan yang berkualiti dari segi tatabahasa membantu penguasaan bahasa Melayu yang tepat dan betul penggunaannya.\nBeliau juga berharap agar kisah yang dikongsikan dalam Majalah Dewan Masyarakat Bil. 11/2021 dapat memberikan inspirasi kepada pembaca, khususnya murid dan ibu bapa. Dengan menanamkan minat suka membaca sudah pasti dapat membantu menambah baik penguasaan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan kita." "Jadual Waktu Peperiksaan SPM, STAM dan UPBA Tahun 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan medianya memaklumkan bahawa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa (UPBA) tahun 2021 akan dilaksanakan pada Februari dan Mac tahun 2022.\nSelaras dengan pengumuman Sesi Persekolahan Penggal 3 2021/2022 pada 15 November 2021, KPM turut menyediakan jadual waktu peperiksaan/ujian SPM, STAM dan UPBA seperti dalam Lampiran 1 hingga 4. Senarai lampiran adalah seperti yang berikut:\na) Lampiran 1:\nJadual Waktu Ujian Bertutur Bahasa Melayu, Ujian Mendengar Bahasa Melayu, Ujian Bertutur Bahasa Inggeris, Ujian Mendengar Bahasa Inggeris dan Ujian Amali Sains Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Tahun 2021.\nb) Lampiran 2:\nJadual Waktu Peperiksaan SPM\u00c2\u00a0Tahun 2021.\nc) Lampiran 3:\nJadual Waktu Peperiksaan STAM Tahun 2021.\nd) Lampiran 4:\nJadual Waktu UPBA Tahun 2021.\nJadual waktu peperiksaan/ujian ini juga boleh dimuat turun melalui portal rasmi Lembaga Peperiksaan di pautan http://lp.moe.gov.my mulai 17 November 2021.\nSehubungan dengan itu, semua calon diingatkan agar merujuk jadual waktu peperiksaan untuk mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi.\nCalon juga boleh merujuk Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam Norma Baharu 3.0 yang telah dimuat naik di portal rasmi KPM https://www.moe.gov.my/ dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan pencegahan penularan wabak COVID-19.\nKPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik." "MoU KPM-Top Glove: Peluang Pembelajaran Sepanjang Hayat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhasrat untuk melahirkan bakat dan profesional terlatih dengan meningkatkan kemahiran pelajar dan guru Kolej Vokasional berdasarkan keperluan, piawaian dan akreditasi industri selaras dengan Transformasi Pendidikan Vokasional (VET) serta perkongsian sumber dan kepakaran industri. VET yang dilaksanakan pada tahun 2012, merupakan satu daripada 25 inisiatif yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020).\nVET memberikan tumpuan dalam menyediakan akses kepada pendidikan dan latihan vokasional teknikal (TVET) berkualiti pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta mempromosikan peluang pembelajaran sepanjang hayat. Oleh itu, KPM sekali lagi mendapat peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2022, iaitu sebanyak RM52.6 bilion atau 16 peratus. Sebahagian daripada peruntukan itu akan digunakan dalam menambah baik ekosistem TVET untuk melahirkan bakat yang sedia ada pada masa hadapan yang dapat memenuhi permintaan industri pada peringkat tempatan dan global.\nDalam ucapan YB Senator Dato\u2019 Dr. Mah Hang Soon, Timbalan Menteri Pendidikan I, beliau menjelaskan bahawa sebelum ini rakyat Malaysia mungkin mempunyai persepsi yang kurang tepat tentang TVET. Mereka beranggapan bahawa hanya golongan yang tidak berminat dalam pendidikan formal akan mengambil TVET dan berakhir dengan masa depan yang suram berbanding dengan menyambung pelajaran dalam bidang profesional seperti doktor, akauntan atau peguam. Walau bagaimanapun, menurut beliau, masa kini telah berubah. Dengan kebangkitan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), dunia amat memerlukan kemahiran berteknologi tinggi dalam bidang teknikal.\n\u201cSebagai contoh, di negara maju tertentu seperti Jerman, TVET telah pun diintegrasikan ke dalam pendidikan arus perdana sehingga 70 peratus pelajar Jerman berkelulusan dalam TVET. Di Singapura pula, sebanyak 60 peratus pelajar memilih untuk belajar di kolej TVET,\u201c ujar beliau dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPM dengan Perbadanan Top Glove.\nYB Senator Dr. Mah Hang Soon turut berpandangan bahawa jika Malaysia berhasrat untuk menjadi sebuah negara maju berteraskan perindustrian sepenuhnya, TVET seharusnya menjadi trend umum pada masa hadapan. Sebelum ini, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob telah menerima pakai beberapa langkah untuk memperkukuh TVET termasuklah menambah baik ekosistem dan meningkatkan kursus melalui pensijilan kemahiran. Selain itu, KPM turut mengalu-alukan usaha untuk meningkatkan kualiti, pengiktirafan dan pensijilan institusi antarabangsa serta pelancaran sistem pemarkahan untuk institusi pendidikan TVET.\nYB Senator Dr. Mah Hang Soon turut berkata, usaha ini merupakan hala tuju yang sewajarnya untuk Malaysia menuju ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi dan berteknologi tinggi. Sementara itu, KPM juga menggalakkan penggiat industri untuk bekerjasama dengan Bahagian TVET KPM untuk meningkatkan program TVET bagi memastikan graduan Kolej Vokasional mempunyai kemahiran kebolehpasaran yang diperlukan.\nSebagai contoh, pada 11 November lalu, sebuah MoU telah ditandatangani antara TWI Malaysia Sdn. Bhd. dengan Bahagian TVET KPM. Melalui kerjasama ini, TWI Malaysia komited untuk menyokong Bahagian TVET untuk menubuhkan Pusat Kolej Vokasional Cemerlang serta Skim Persijilan Personel Pemeriksaan Kimpalan (CSWIP) untuk kimpalan dan sukatan pelajaran CSWIP 3.0 untuk semua pelajar di 52 buah Kolej Vokasional di seluruh negara di samping memberikan tumpuan kepada misi untuk membekalkan pekerja terlatih dan mahir, membangunkan pakar industri generasi akan datang dan menawarkan peluang pertumbuhan kerjaya untuk belia. Pada masa ini, terdapat sebanyak 87 kolej TVET di seluruh negara yang berada di bawah bidang kuasa KPM. Kolej-kolej ini menawarkan sijil TVET dan program diploma, iaitu Diploma Vokasional Malaysia, Sijil Vokasional Malaysia dan Sijil Kemahiran Malaysia.\nKPM menyasarkan sebanyak 70 peratus graduan memulakan pekerjaan sebagai pekerja mahir dalam industri yang berkaitan, sebanyak 20 peratus untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi dan sebanyak 10 peratus melibatkan diri sebagai usahawan muda.\nSaya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa setakat 31 Oktober 2021, sebanyak 98.29 peratus graduan Kolej Vokasional sama ada bekerja, melanjutkan pengajian tinggi atau telah menjadi usahawan muda, menurut Kajian Pengesanan Siswazah TVET.\nKerajaan sedang memberikan tumpuan untuk menambah baik sistem pendidikan negara dalam tempoh lima tahun akan datang. Dengan tumpuan untuk menaik taraf TVET, kami percaya langkah ini akan membantu memupuk lebih banyak bakat selaras dengan kebangkitan IR 4.0. Dengan lebih ramai bakat profesional terlatih secara teknikal, langkah Malaysia ke arah menjadi sebuah negara perindustrian, maju dan berpendapatan tinggi sepenuhnya dapat menjadi kenyataan.\nMemandangkan Top Glove sebagai pengeluar sarung tangan terbesar di dunia, kerajaan menjangkakan sejumlah besar bakat muda akan melibatkan diri dalam industri yang akan melatih mereka untuk menjadi berdaya saing, cekap dan berkemahiran tinggi. Perkongsian sektor awam dengan pihak swasta selama lima tahun, iaitu antara KPM dengan Top Glove dijangka dapat meningkatkan sektor TVET di Malaysia.\n\u201cBagi pihak KPM, saya mengucapkan tahniah kepada Top Glove kerana mengambil langkah positif dan Penandatanganan MoU pada hari ini akan membuka jalan kepada kerjasama yang lebih baik antara kerajaan dengan sektor swasta ,\u201d akhiri YB Senator Dato\u2019 Dr. Mah Hang Soon." "Pembudayaan Integriti dalam Organisasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDewasa ini kita mendapati isu berkaitan integriti, khususnya penyalahgunaan kuasa dan rasuah sering berlegar di media massa.\u00a0Penafian dan penjelasan diberikan oleh pihak yang disyaki dan dituduh, namun hal ini tidak membantu memulihkan imej negara di mata masyarakat dunia, sebaliknya reputasi negara terus terjejas apabila Indeks Persepsi Rasuah (CPI) ke-23 bagi tahun 2020 meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-57 daripada 180 buah negara yakni turun enam anak tangga berbanding dengan tahun sebelumnya.\u00a0Tambahan pula, menurut laporan CPI tahun 2020, negara Rwanda yang baru bangkit daripada konflik perang saudara dikatakan demikian lebih baik prestasi persepsi rasuahnya, iaitu berada pada kedudukan ke-49 berbanding dengan Malaysia yang lebih maju serba-serbi.\nWalau bagaimanapun, tanpa perlu menuding jari kepada mana-mana pihak, perkara utama yang perlu dilakukan ialah merenung kembali dalam diri kita dan bertanya: \u201cAdakah kita sudah melakukan usaha yang secukupnya untuk menjadikan negara kita lebih berintegriti?\u201d Hakikat pahit yang perlu diterima ialah Indeks CPI yang kita peroleh jelas menunjukkan bahawa masih banyak usaha yang perlu dilakukan bersama-sama jika mahu berjaya dalam memerangi segala tindakan yang tidak berintegriti, sekali gus menjadikan negara kita lebih bersih dan disegani oleh semua pihak.\nAntara perkara yang boleh dilakukan ialah membudayakan amalan integriti pada setiap masa seperti menerapkan pembudayaan nilai integriti dalam diri, keluarga, masyarakat dan organisasi.\nMengapakah nilai integriti penting untuk dibudayakan? Adakah semata-mata untuk memperbaiki Indeks Persepsi Rasuah negara kita? Jawapannya sudah pasti tidak!\nHal ini kerana integriti sememangnya diperlukan dalam kehidupan kita. Kehidupan seseorang tanpa integriti seperti amanah, jujur, menepati janji, bertanggungjawab dan berakhlak dengan sifat-sifat mahmudah umpama hilang keimanan dari dalam dirinya.\nRasulullah SAW menegaskan dalam hadis yang bermaksud:\n\u201cTiada iman bagi orang yang tidak memegang amanahnya dan tiada agama bagi orang yang tidak dapat dipegang janjinya.\u201c \n(Hadis Riwayat Ahmad dan Dailami)\nSehubungan dengan itu, pelaksanaan pembudayaan integriti sangat penting dalam peribadi seseorang individu dan organisasi kerana bukan sahaja untuk memelihara maruah dan harga diri seseorang, malah dapat meningkatkan produktiviti organisasi dan mengangkat martabat sesebuah negara.\nJika dilihat kepada data sedia ada, sememangnya terdapat kaitan yang signifikan antara sikap berintegriti dengan prestasi produktiviti. Data menunjukkan negara yang mempunyai kedudukan yang lebih baik indeks persepsi rasuahnya mempunyai prosedur yang lebih cekap dan memudahkan pengoperasian perniagaan di negara tersebut. Kesan langsungnya pelabur akan memilih negara berkenaan sebagai destinasi pelaburan, sekali gus membantu meningkatkan hasil dalam bentuk cukai.\n\nJadual Hubungan Prestasi CPI dengan DB dan Nisbah Kutipan Cukai berbanding dengan KDNK.\nIndeks Persepsi\nRasuah (CPI)*\nBusiness (DB) **\nNisbah Kutipan\nCukai Berbanding\nKDNK***\n*CPI: Indeks Persepsi Rasuah\n**DB:\u00a0 Ease of Doing Business Ranking, Tahun 2020\n***Nisbah Tax-to-GDP \nMendidik generasi muda biarlah dari peringkat awal. Umpama rebung, apabila sudah menjadi buluh susah pula hendak dilenturkan. Dalam konteks manusia, apabila sudah tua, maka susahlah pula hendak ditegur, hatta untuk mendengar arahan dan nasihat juga susah kerana mereka sudah banyak kata dan pandai berhujah.\nBegitulah proses menerap dan membudayakan nilai integriti dalam organisasi. Realitinya, hasil kejayaan sesebuah organisasi adalah bermula daripada warga kerja yang berintegriti. Oleh hal yang demikian, setiap organisasi hendaklah menyediakan satu pelan tindakan yang lengkap berkaitan dengan pembinaan integriti dalam kalangan pekerja. Pelan tindakan ini perlu mencakupi semua peringkat pekerja, bermula dari peringkat pekerja sokongan sehinggalah peringkat pengurusan dan pemimpin atasan. Hal ini dikatakan demikian kerana nilai integriti perlu wujud dalam diri setiap ahli organisasi tanpa mengecualikan sesiapa pun. Lebih-lebih lagi dalam kalangan pemimpin yang sentiasa menjadi perhatian dan ikutan pekerja bawahan. Jelaslah, integriti menjadi antara tonggak utama yang menentukan keberkesanan kepimpinan mereka.\nSeseorang pemimpin yang berintegriti bukan sahaja perlu \u201cbersih\u201d, malah mereka juga perlu kelihatan \u201cbersih\u201d pada setiap masa. Integriti pemimpin yang boleh dipersoalkan akan mengakibatkan integriti organisasi dan pekerja yang mereka pimpin turut dipertikaikan. Pada masa yang sama, pemimpin yang diragui integritinya berkemungkinan bakal berhadapan dengan tentangan dan sikap tidak setia dalam kalangan para pekerjanya. Jika ini berlaku adalah mustahil untuk sesebuah organisasi mencapai kejayaan yang diimpikan kerana tiadanya kesatuan dan semangat berpasukan dalam sesuatu organisasi tersebut.\nUngkapan \u201cKita Jaga Kita\u201d umpama sudah sebati dalam diri kita semua. Bahkan, ungkapan ini bagaikan satu ungkapan wajib bagi seluruh rakyat Malaysia semenjak penularan pandemik COVID-19 pada penghujung tahun 2019 sehingga kini sebagai peringatan agar setiap rakyat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan prihatin dengan nasib masyarakat di sekeliling.\nBersangkutan dengan integriti, \u201cKita Jaga Kita\u201d ini turut boleh digunakan sebagai langkah membudayakan integriti dalam organisasi. Apa tidaknya, ungkapan ini juga menggambarkan bahawa setiap daripada kita wajib menegur dan menasihati orang lain untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. Maka mengambil semangat daripada ungkapan ini, setiap pihak perlu memainkan peranan sebagai \u201cpenasihat\u201d kepada orang di sekeliling, begitu juga sebaliknya agar tindak-tanduk kita sentiasa berada atas landasan yang benar dan tidak terpesong.\nSesungguhnya Allah memberikan janji-Nya akan kejayaan kepada hamba-Nya yang beriman, sentiasa melakukan amal kebaikan dan saling ingat-mengingati perkara yang benar dengan penuh kesabaran.\n\u201cDengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar\u201d.\n(Surah al-\u2018Asr 103:1\u20133)\nDalam konteks ini, setiap manusia perlu mempunyai dorongan untuk memartabatkan integriti. Tanpa dorongan, nescaya semua program, pelan, ikrar dan peraturan berkaitan dengan integriti menjadi sia-sia kerana tiadanya pegangan yang jitu dalam kehidupan.\nIntegriti sangat dituntut, lebih-lebih lagi dalam agensi dan jabatan kerajaan kerana sebagai organisasi yang dananya datang daripada rakyat, penjawat awam hendaklah sentiasa berkhidmat dengan penuh beretika demi kesejahteraan masyarakat dan negara. Namun begitu, integriti tidak hanya ditekankan kepada penjawat awam semata-mata, pihak swasta dan setiap rakyat juga turut tidak terkecuali daripada menghayatinya. Kesalinghubungan dan kerjasama antara pihak kerajaan, swasta dengan setiap rakyat sangat perlu dalam memartabatkan dan membudayakan integriti dalam negara kita.\nPerbuatan tidak berintegriti seperti penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah hendaklah dielakkan sama sekali. Setiap daripada kita juga hendaklah mengamalkan budaya kerja yang penuh berintegriti umpamanya dalam hal ketepatan waktu, penyampaian maklumat, kerahsiaan organisasi dan perhubungan dengan majikan serta rakan sekerja. Nilai-nilai murni dan pegangan agama yang kuat boleh menjadi benteng kepada diri daripada terjebak dengan aktiviti haram dan tindakan yang merosakkan organisasi serta negara.\nDari sudut agama, tidak ada agama dalam dunia yang menghalalkan perbuatan tidak berintegriti. Dalam Islam, jelas bahawa rasuah dan semua bentuk penyelewengan lain seperti penipuan, salah guna kuasa, pemalsuan dan penindasan adalah diharamkan.\nFirman Allah SWT:\n\u201cDan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui\u00a0(salahnya)\u201d.\n(Surah al-Baqarah 2:188)\nBetapa seriusnya kesan buruk perbuatan tidak berintegriti seperti rasuah ini turut jelas dipaparkan melalui hadis nabi yang melaknat pemberi dan penerima rasuah. Abdullah Ibn \u2018Amr R.A meriwayatkan: \u201cRasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.\u201d (HR Abu Daud, Al-Tirmizi, Ibn Majah).\nHal ini kerana penyelewengan dan rasuah bukan sahaja memberikan ketidakadilan kepada pihak yang ditindas, malah turut boleh merugikan organisasi kerana berlakunya ketirisan dan pembaziran. Selain itu, dapat digambarkan betapa terkesannya budaya rasuah dan amalan penyelewengan yang dilakukan oleh segelintir pekerja mampu mencemarkan imej baik organisasi bak peribahasa, \u201cseekor kerbau membawa lumpur habis semua terpalit\u201d. Lebih malang lagi, amalan ini boleh menjurus kepada kehancuran negara apabila maruah dan kedaulatan negara boleh menjadi taruhan akibat daripada ketamakan wang dan kekayaan.\nSebagai seorang manusia yang beriman, adakah kita langsung tidak gentar dengan ancaman laknat oleh Rasulullah ini? Apabila dilaknat oleh Rasulullah SAW, bagaimanakah seseorang umat ingin mendapatkan syafaat daripada baginda kelak? Kita tidak akan mendapat pertolongan di akhirat, jika kita melakukan perbuatan yang ditegah oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.\nSecara kesimpulannya, bersandarkan kepada hujah yang dinyatakan, integriti memberikan impak yang amat signifikan kepada kesejahteraan negara apabila hal ini dapat menghasilkan keberkesanan dan kecekapan sistem penyampaian, sekali gus mampu meningkatkan produktiviti organisasi.\nDengan pembudayaan integriti dalam organisasi, bukan sahaja Indeks Persepsi Rasuah negara dapat diperbaik, lebih daripada itu hasil negara turut diyakini akan dapat ditingkatkan apabila setiap penjawat bekerja dengan penuh amanah dan bersungguh-sungguh, manakala rakyat pula tanpa banyak soal akan menjalankan tanggungjawab mereka untuk membangunkan negara dengan penuh sukarela." "KPM Nafi Mengeluarkan Jadual \u201cBentuk-bentuk Hukuman yang Dilarang\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPenularan kenyataan di portal media bertarikh 21 November 2021 bertajuk \u201cGempar!!! Bermula esok, guru boleh dihukum sekiranya berleter terhadap murid\u201d adalah tidak benar.\nKPM tidak pernah mengeluarkan jadual yang bertajuk \u201cUnit Disiplin KPM: Bentuk-bentuk Hukuman yang Dilarang\u201d seperti yang tular di media sosial.\n\nKPM menegaskan bahawa tatacara pengurusan disiplin yang dikeluarkan oleh KPM adalah seperti yang berikut:\nSehubungan dengan itu, KPM memohon perkara ini diberikan perhatian dan semua pihak yang terlibat mengguna pakai tatacara yang digariskan.\nKPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik." "Buku Sejarah Kepimpinan YB Tan Sri Muhyiddin, Abah Teguh Kita Bersama Dilancarkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kisah perjalanan politik YB Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan merupakan episod yang paling sukar dalam sejarah kepimpinan negara tatkala menghadapi cabaran krisis kesihatan, ekonomi dan tekanan politik.\nDengan panggilan mesra \u201cAbah\u201d sepanjang kepimpinannya, Zumail Global Sdn. Bhd. dengan kerjasama Pertubuhan Gagasan Minda Merdeka (GMM) telah menerbitkan buku berjudul Abah Teguh Kita Bersama\u00a0berkonsepkan biografi bergambar sebanyak 370 foto yang mengisahkan kronologi, perjalanan hidup dan strategi YB Tan Sri Muhyiddin sepanjang tujuh dekad kepimpinannya dalam pentadbiran kerajaan.\n\n\u201cTidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita, malah sejarah dunia sekali pun terjadi suatu krisis yang mengancam nyawa dan kehidupan rakyat pada skala yang besar dan berlarutan dalam suatu tempoh yang panjang.\n\u201cMenjadi Perdana Menteri dalam tempoh pandemik merupakan suatu episod yang paling sukar dalam sejarah politik saya,\u201d kata mantan Perdana Menteri Malaysia, YB Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin ketika majlis pelancaran buku di Hotel InterContinental Kuala Lumpur petang tadi.\nDalam ucapan perasmian yang disempurnakan oleh YB Dato\u2019 Haji Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Batu Pahat, beliau mengatakan bahawa buku ini merupakan simbol penghargaan kepada YB Tan Sri Muhyiddin yang telah melaksanakan amanah dengan baik untuk mengimbangi kepentingan antara pembangunan ekonomi negara dengan kesihatan, serta membela nasib rakyat.\n\u201cSelama 18 tahun bulan berjuang \u00a0berlawan dengan pandemik COVID-19, harus diakui bahawa banyak usaha dan inisiatif yang telah dilakukan oleh YB Tan Sri Muhyiddin. Usaha Abah meliputi semua peringkat, individu, tua, muda, keluarga, sektor perniagaan kecil dan sederhana dan banyak lagi,\u201d ujar beliau.\nTerdahulu, Mazura Abdul Aziz, Pengarah Urusan Zumail Global Sdn. Bhd. mengatakan bahawa setiap pemimpin mempunyai kelebihan dan kekuatan yang tersendiri. Dalam aspek ini, YB Tan Sri Muhyiddin berjaya memperlihatkan kekuatan tersendiri dengan menawan jutaan rakyat Malaysia.\n\u201cRamai yang mengatakan beliau seorang yang serius. Apabila kami menghimpunkan foto yang boleh mencerminkan tajuk buku ini, dengan sendirinya menunjukkan bahawa abah seorang pemimpin yang berjiwa rakyat,\u201d kata Mazura yang memutuskan untuk menghasilkan buku ini dengan hasrat menjadi satu koleksi yang bernilai untuk menggambarkan sifat pemimpin sejati.\nSementara itu, YB Datuk Dr. Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komodoti merangkap penaung GMM berkata: \u201cSebelum ini kita hanya mendengar dan membaca perjalanan hidup YB Tan Sri Muhyiddin dari sudut politik semata-mata, namun kandungan buku ini menonjolkan personaliti beliau sebagai seorang suami, ayah, ahli politik, wakil rakyat, menteri dan sebagai Perdana Menteri.\u201d\nUjar YB Datuk Dr. Zuraida lagi, beliau menganggap YB Tan Sri Muhyiddin ialah father of circumstances kerana perwatakannya yang sangat tenang dan bijak dalam mengawal keadaan walaupun cabaran besar datang melanda." "Murid Jalani Saringan Bergilir COVID-19 Setiap Minggu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBerikutan sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) oleh YB Menteri Kesihatan bertarikh 26 November 2021, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyambut baik saranan berkaitan dengan saringan bergilir COVID-19 kepada murid sekolah rendah.\nMenurut kenyataan sidang media, KPM akan melaksanakan 10 peratus sampel saringan COVID-19 secara mingguan dengan kaedah penggiliran\u00c2\u00a0selaras dengan Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan.\nBekalan kit ujian kendiri COVID-19 disediakan kepada murid sekolah rendah untuk memastikan ujian saringan dapat dilaksanakan seperti tatacara pelaksanaan ujian kendiri COVID-19 yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0\n\nKPM akan mengeluarkan surat pemakluman berkenaan dengan pelaksanaan saringan bergilir COVID-19 untuk murid sekolah rendah yang perlu dilaksanakan pada setiap rabu, pada hari persekolahan.\nKPM juga menyarankan ketetapan ini turut terpakai di semua sekolah rendah institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM." "Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran Kembali Mengemudi DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YBhg. Datuk Abang Salehuddin Abg Shokeran yang dilantik semula secara kontrak selama satu tahun sebagai Ketua Pengarah DBP berkuat kuasa pada hari ini. Beliau yang bersara wajib pada 15 Oktober lalu dengan perkhidmatan selama lebih 37 tahun pernah menjawat pelbagai jawatan penting sepanjang berkhidmat di DBP.\nYBhg. Datuk Abang Salehuddin memulakan kerjaya di DBP dengan dilantik secara tetap pada 1 November 1983 di DBP Cawangan Sarawak. Sepanjang menyumbang bakti di DBP, beliau telah menyandang beberapa jawatan penting, antaranya termasuklah sebagai Pengarah DBP Wilayah Timur, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, serta menyandang jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah DBP pada 10 Januari 2019 dengan perakuan Lembaga Pengelola DBP, kelulusan YB Menteri Pendidikan dan persetujuan Perdana Menteri pada ketika itu.\nYBhg. Datuk Abang Salehuddin dikenali sebagai Ketua Pengarah yang giat memperkenalkan usaha pendigitalan secara menyeluruh bagi melonjakkan kualiti penerbitan DBP sebaik-baik sahaja beliau terpilih mengisi jawatan itu. Hasrat beliau tersebut diteruskan sehingga lahirnya portal digital JendelaDBP yang menempatkan kandungan digital DBP di bawah \u2018satu bumbung\u2019 seperti berita dan artikel dalam bentuk kandungan baharu, 11 majalah digital DBP, buku digital termasuklah buku digital interaktif, rancangan radio dan televisyen penstriman serta produk penerbitan, iaitu buku dan majalah yang diboleh diakses dan dibeli menerusi ruangan \u2018Ujana\u2019 yang kini mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada khalayak.\nInisiatif beliau bersama-sama pasukan pengurusan tertinggi DBP itu juga dilakukan bagi memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu ke tahap yang lebih tinggi. Beliau sering menyatakan bahawa seiring dengan kemajuan bidang teknologi digital dan penggunaannya yang meluas khususnya dalam kalangan generasi muda, DBP perlu sentiasa berevolusi dan melakukan anjakan paradigma supaya semua perkhidmatan yang ditawarkan memenuhi kehendak masyarakat, lebih-lebih lagi DBP merupakan institusi ilmu yang telah bertapak kukuh sejak sekian lama. Menurut beliau dalam ucapan majlis\u00a0 Inovasi DBP pada Oktober yang lalu:\nKita sudah memperkenalkan banyak sistem kerja yang menggunakan aplikasi-aplikasi terbaharu yang membantu mempercepat kaedah dan cara bekerja, misalnya dalam sistem kewangan dan kaedah penyampaian untuk membantu masyarakat memahami hal yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan melalui Pusat Rujukan Persuratan Melayu.\nMelewati situasi pada ketika ini yang menuntut lebih banyak perkhidmatan dilakukan secara dalam talian berikutan pandemik COVID-19 yang melanda dunia, beliau menggalakkan seluruh pegawai DBP mengorak langkah dan bersedia dengan kemahiran dalam teknologi digital agar perkhidmatan dan bahan penerbitan dalam talian dapat berjalan lancar dan berkualiti. Dalam hal ini, beliau juga amat menitikberatkan aspek peremajaan DBP untuk mempersegarkan keadaan dan memikirkan kaedah kerja yang lain daripada yang lain.\nDengan pelantikan semula beliau sebagai Ketua Pengarah, usaha untuk menjadikan bahasa \u00a0Melayu sebagai bahasa ekonomi seperti yang terdapat dalam Pelan Strategik DBP (2021-2025) diharapkan dapat mencapai matlamatnya, selaras dengan saranan Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin yang berhasrat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan bahasa ilmu. Melalui pelantikan baharu ini, beliau beriltizam untuk memberikan fokus terhadap penerbitan melalui pendigitalan buku-buku terbitan DBP bermula daripada penerbitan buku Anak Raja Anak Papa sehingga kini." "Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO 2019 Membina Pelapis Atlet Muda\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Majlis Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia-Majlis Sukan Sekolah Malaysia-MILO (KPM-MSSM-MILO) 2019 terbukti berjaya melahirkan ramai atlet muda sebagai pelapis negara untuk mempersiapkan diri di persada sukan antarabangsa.\nDalam ucapan perasmian majlis yang berlangsung secara dalam talian, YB Datuk Dr. Radzi Md. Jidin, Menteri Kanan Pendidikan mengatakan bahawa pandemik COVID-19 memberikan kesan yang cukup mendalam kepada sektor pendidikan dan sektor sosial.\nWalau bagaimanapun, keadaan ini tidak menjadi penghalang kepada guru untuk menjadi lebih kreatif dan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi bagi meneruskan pembelajaran, termasuklah menggilap potensi murid dalam bidang sukan.\nMenurut Menteri Kanan Pendidikan, Majlis Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO merupakan acara tahunan sejak tahun 1968.\nMajlis Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO yang diadakan setiap tahun adalah untuk meraikan kejayaan dan memberi pengiktirafan kepada para atlet murid, jurulatih sukan, golongan pendidik dan warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa ini termasuk juga penglibatan dan kejayaan atlet dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) sepanjang tahun 2019.\nKPM amat menghargai usaha dan peranan yang dimainkan oleh MSSM dalam mencungkil dan membentuk bakat atlet murid sehingga ke peringkat antarabangsa. Lebih membanggakan, kecemerlangan atlet murid ini tidak hanya terbatas kepada kejayaan dalam bidang sukan, malah cemerlang dalam bidang akademik dan mempunyai kerjaya yang hebat.\nDalam kejohanan MSSM pada kali ini, terdapat 13 kategori dipertandingkan, termasuklah Anugerah Emas yang dipilih berdasarkan pencapaian cemerlang dalam akademik dan sukan sepanjang tahun. Sebulum ini, Aifa Azman telah berjaya memenangi anugerah tertinggi ini dan kini giliran ratu gimrama negara yang sedang melonjak naik, Izzah Amzan diiktiraf sebagai penerima Anugerah Emas 2019.\nBerdasarkan laporan, Izzah mencapai prestasi akademik yang cemerlang dengan purata mata nilaian kumulatifnya 3.79 dalam aliran pengurusan. Beliau juga penerima Anugerah Puteri Sukan pada tahun 2018 dan pernah merangkul pingat emas Sukan SEA 2017 dan Sukan SEA 2019.\nSehubungan dengan itu, YB Datuk Dr. Radzi mengucapkan tahniah kepada 16 penerima anugerah sukan KPM-MSSM-MILO 2019, termasuklah tiga buah negeri yang menerima Anugerah Juara MSSM 2019.\nSemoga pengiktirafan ini menjadi pembakar semangat kepada atlet murid dan jurulatih untuk bersaing pada peringkat lebih tinggi.\nOleh hal yang demikian, KPM berbesar hati menerima kerjasama daripada pelbagai agensi untuk merealisasikan hasrat kerajaan \u201cDasar 1Murid 1Sukan\u201d. Dengan kerjasama yang erat, KPM yakin akan lebih banyak lagi pencapaian dan kejayaan yang boleh dilakar di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, di samping melahirkan pelajar yang aktif bersukan sejajar dengan anjakan 9, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.\nIzzah Amzan (Gimrama)\nKhiew Hoe Yean (Renang)\nIman Alisha Fakhri Yassin (Gimrama)\nMuhammad Rafed Ismail\nLoo Yie Bing (Renang)\nWong Lee Hong (Skuasy)\nSiti Nor Insyirah Mohamad Ariffin (Olahraga)\nJonah Chang Anak Rigan (Olahraga)\nNur Amisha Azrilrizal (Muay Thai)\nMohammad Rifdean Masdor (Muay Thai)\nChang Siang Cheng\nYeshodh A/L Parameswaran\nMohd. Shahril Shahidan" "Raja Perlis Menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Ke-58 USM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nArau \u2013 Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan agar semua pihak berhenti daripada melakukan aktiviti yang mengancam kesejahteraan sosial masyarakat. Pertelagahan mahupun pertelingkahan yang dapat meruntuhkan benteng perpaduan masyarakat, termasuklah media sosial perlu dihentikan sepenuhnya.\nKita perlulah memainkan peranan dalam pembangunan semula ekonomi negara dan perlu untuk memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.\nMenurut baginda, ilmu dan pengetahuan amat penting dalam kehidupan lebih-lebih lagi untuk keluar daripada kemelut yang datang menimpa. Setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan penting untuk bersama-sama memutuskan rantaian pandemik COVID-19 ini.\nDemikian titah DYMM Tuanku Syed Sirajuddin ketika berkenan berangkat menyempurnakan Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen Ke-58 Universiti Sains Malaysia (USM) yang diadakan di Balai Menghadap Hijau Istana Arau pada pagi tadi.\nBerangkat sama mengiringi baginda ialah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis.\nDYMM Tuanku Syed Sirajuddin juga berharap agar para ilmuwan dalam pelbagai bidang kepakaran dapat bersatu tenaga dan fikiran membantu negara dan masyarakat.\nKeutamaan mestilah diberikan sepenuhnya kepada pembangunan masyarakat dan negara.\nAntara Penerima Ijazah Kehormat, Gelaran Profesor Emeritus dan Emerita serta Pemenang Pingat Emas Canselor kali ini daripada baginda yang juga merangkap Tuanku Canselor USM ialah Dr. David Lacey (Ijazah Kehormat Doktor Sains), Datuk Wira Lee Chong Wei (ljazah Kehormat Doktor Sains Sukan), Datuk Dr. Asma Ismail FASC. (Anugerah Profesor Emerita), Dr. Zahri Ismail \u2013 tanpa hadir \u2013 (Anugerah Profesor Emeritus) dan Khaw Teng Kang (Hadiah Pingat Emas Canselor).\nTurut hadir bersama-sama dalam majlis tersebut ialah Pro-Pro Canselor USM Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dan Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan, Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Naib Canselor, Profesor Dato\u2019 Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan." "Modul Gastronomi Melayu kepada Pelajar Antarabangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBudaya sering kali dikaitkan dengan cara hidup atau amalan sesebuah masyarakat. Di Malaysia, terkandung pelbagai jenis budaya kerana rakyatnya terdiri daripada pelbagai bangsa dan etnik. Budaya boleh juga didefinisikan sebagai hal yang berkaitan dengan akal budi. Akal budi menurut pendapat Tenas Effendy dalam bukunya yang bertajuk Tunjuk Ajar Melayu ialah berfikir adalah cerminan orang yang berakal budi. Menurut Tenas, kearifan berfikir orang Melayu tidak dapat dilepaskan daripada budaya Melayu yang menggalakkan orang untuk berfikir, menggunakan akal dan hati nuraninya dengan cermat.\nRohana Yusof melalui bukunya yang bertajuk Asas Sains Sosial dari Perspektif Sosiologi yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pula menyatakan bahawa istilah budi membawa maksud asli, pertama, sejati dan dipandang sempurna manakala daya pula dimaksudkan sebagai akal, jalan fikiran dan ciptaan.\nBegitu juga dengan kata-kata daripada seorang tokoh budayawan, iaitu Dato\u2019 A. Aziz Deraman tentang konsep budaya, iaitu \u201cBudaya itu adalah satu cara hidup kita, yakni meliputi seluruh cara hidup satu-satu masyarakat baik dalam pengumpulan daripada idea dan perasaan, kepercayaan, lambang, nilai dan bentuk kemasyarakatan serta objek kebendaan yang diwariskan turun-temurun\u201d.\nDato\u2019 A. Aziz juga memberikan penekanan terhadap beberapa aspek budaya. Antaranya termasuklah sistem idea, perasaan kelompok, nilai dan kepercayaan masyarakat tersebut, lambang serta objek kebendaan ciptaan masyarakat tertentu, selain mengaitkan budaya dengan konsep warisan masyarakat. Menurut beliau, budaya adalah kesemua perkara yang difikirkan, dibuat dan dimiliki sebagai ahli masyarakat yang meliputi seluruh cara hidup masyarakat. Bagi orang Melayu yang sememangnya berasal dari negara ini sudah terbiasa dengan amalan budaya yang telah dipraktikkan oleh ahli keluarga mereka secara turun-temurun.\nTidak kira dari segi cara hidup, makanan, pakaian, permainan dan lain-lain budaya, hal tersebut sudah menjadi serasi. Namun begitu, hal ini berbeza daripada pengalaman yang dilalui oleh penulis apabila melihat dan mendengar akan reaksi dan pandangan yang diberikan oleh para pelajar luar negara yang datang untuk mempelajari bahasa Melayu di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia.\nATMA juga merupakan antara institut terawal dibina di universiti watan tersebut yang bermula sebagai Institut Bahasa, Kesusasteraan, dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) yang telah ditubuhkan pada 1 Disember 1972. Tujuan penubuhan ATMA adalah untuk menawarkan program pengajian pascasiswazah, iaitu Sarjana Persuratan dan Doktor Falsafah, yang menjalankan penyelidikan dalam bidang bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu serta menjadi pusat rujukan bidang tersebut.\nPenukaran nama IKKBM kepada ATMA pada tahun 1992 telah meluaskan kajian ATMA dengan penambahan beberapa tujahan baharu. Yang terkini, ATMA telah dilantik sebagai peneraju Jawatankuasa Induk Pengembangan Bahasa Melayu Asia oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.\nSatu daripada kursus yang ditawarkan di ATMA adalah berkenaan dengan Kursus Intensif Keterampilan Bahasa Melayu (KIKBM) bagi pelajar luar dan dalam negara. KIKBM telah diwujudkan pada tahun 1999 di bawah program Consortium of Teaching Indonesia-Malaysia (COTIM). Bermula dengan hanya dua orang pelajar dari Amerika Syarikat, kini sudah memiliki lebih daripada 300 orang pelajar dari seluruh dunia, seperti \u00a0Australia, Kanada, England, Finland, Jerman, Jepun, Hong Kong, Iran, Korea Selatan, Zew Zealand, Filipina, Perancis, Singapura, dan Vietnam, telah mengikuti kursus ini.\nKIKBM turut mendapat pengiktirafan daripada Constanz University of Applied Sciences (Jerman), La Trobe University, Melbourne (Australia), Tokyo University of Foreign Studies (Jepun), Setsunan University (Jepun) dan Korea Tourism Organization (Korea Selatan) sebelum ini.\nBermula pada tahun 2022, KIKBM sudah mula menerima pelajar baharu dari luar negara untuk kelas Keterampilan Bahasa Melayu secara bersemuka. Di ATMA, kursus bahasa Melayu tidak hanya dipelajari melalui pembelajaran dalam kelas semata-mata namun para pelajar turut diberi peluang untuk merasai sendiri cara hidup dan mengenali budaya masyarakat Melayu secara fizikal.\nBertepatan dengan seruan Perdana Menteri Malaysia kesembilan, Yang Amat Berhormat Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob yang berusaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN, maka usaha menyebarkan bahasa Melayu tidak sekadar pembelajaran secara formal sahaja. Usaha ini seharusnya diselangi dengan pengetahuan budaya dan warisan masyarakat tersebut. Hal ini demikian kerana melalui budaya, pembelajaran menjadi lebih efektif dan berkesan.\nKIKBM, ATMA turut menganjurkan Program Selami Budaya Masyarakat Melayu yang melibatkan para pelajar yang berasal dari Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun. Melalui kursus ini, pelajar antarabangsa yang berdaftar turut diberikan kesempatan merasai sendiri suasana kehidupan masyarakat Melayu di kawasan perkampungan yang sebenar. Pada kali ini, lokasi yang menjadi pilihan ialah sebuah kampung di daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan.\nPemilihan Kampung Sungai Dua Besar ini atas dasar hubungan erat keluarga angkat di kampung tersebut dengan KIKBM, ATMA sejak tahun 2017. Sebelum ini, penulis pernah mengadakan program kemasyarakatan di kampung tersebut sambil mengkaji dialek yang digunakan oleh masyarakat sekitar kampung itu dan akhirnya, hubungan tersebut menjadi semakin rapat.\nPada kali ini, terdapat sedikit kelainan kerana program ini diadakan berdekatan dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. Di sana, pelajar antarabangsa berpeluang mempelajari cara pembuatan dan penyediaan lemang tradisi Negeri Sembilan. Mereka bukan sahaja belajar untuk berinteraksi dengan orang kampung secara verbal dengan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya malah dapat memahami gastronomi Melayu melalui tatacara penghasilan lemang tradisi masyarakat Melayu itu sendiri.\nPelajar antarabangsa, Robert Hoegerl (Jerman) dan Brian (USA) mengatakan bahawa di negara mereka tiada masakan yang dimasak dengan menggunakan buluh seperti lemang. Hal ini demikian kerana di Jerman agak sukar untuk mendapatkan buluh seperti buluh lemang yang ada di Malaysia. Di sebalik penghasilan lemang tradisi ini terkandung pelbagai falsafah yang mendasari nama dan cara pembuatan lemang itu sendiri.\nAda pendapat yang mengatakan bahawa istilah \u201clemang\u201d tercipta daripada sejenis makanan orang asli Negrito di Kelantan pada satu ketika dahulu. Selain itu, berdasarkan kenyataan Profesor Madya Datuk Paduka Dr. Rosli Saludin (Raja Teromba), istilah \u201cmelemang\u201d dimulakan oleh suku Asli Temuan dan juga pada zaman Penghulu Naam sekitar tahun 1700. Namun begitu, setakat ini penghasilan istilah \u201clemang\u201d belum lagi menemui kajian mengenainya. Apa-apa pun, kajian yang lebih mendalam harus dijalankan terlebih dahulu.\nAktiviti melemang yang dijalankan bersama-sama pelajar antarabangsa bukanlah sekadar memasukkan beras pulut dan santan semata-mata atau makan bersama-sama selepas membakar lemang itu. Namun begitu, secara ringkasnya, penulis cuba menghuraikan beberapa falsafah Melayu yang terselit di sebalik proses menghasilkan lemang dan berkongsi kepada para pelajar antarabangsa.\nLemang juga boleh melambangkan kemeriahan dan kegembiraan kerana juadah ini sering kali dihidangkan semasa sambutan perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Kebersamaan ketika membuat lemang itu diibaratkan seperti permuafakatan yang terjalin dalam sesebuah masyarakat mahupun keluarga kerana orang Melayu tidak lekang dengan cara hidup bermasyarakat, bergotong-royong dan bertolak ansur antara satu sama lain.\nKandungan santan yang berlemak bersama-sama garam dan gula yang menyaluti beras pulut pula menunjukkan asam garam kehidupan yang dilalui oleh setiap insan yang bergelar manusia. Beras pulut di dalam buluh yang dibakar atau dipanggang juga menggambarkan sikap orang Melayu yang pada luarannya tampak keras tetapi masih mempunyai kelembutan dalam berbicara seperti lembutnya isi lemang yang sudah masak.\nSetiap tafsiran manusia itu berbeza dan tafsiran penulis terhadap lemang juga sebegitu. Sambutan Hari Raya Aidilfitri kurang dirasai jika juadah lemang tradisi ini tidak dilengkapi dengan juadah utama, iaitu Rendang daging cili api yang asli dari Kuala Pilah. Hasil sentuhan resipi Azlina Ibrahim (anggota keluarga angkat ATMA), yang merupakan penduduk asal Negeri Sembilan membuatkan keenakan rendang tersebut menjadi sebutan dan buah mulut para pelajar antarabangsa yang menikmatinya.\nDalam memacu pemartabatan bahasa Melayu di negara-negara ASEAN, pengamatan dari sisi budaya masyarakat Melayu juga perlu diselitkan supaya pembelajaran bahasa Melayu menjadi lebih mudah dan berkesan melalui aktiviti di lapangan. Semoga lebih banyak aktiviti menyelami budaya masyarakat Melayu di negara ini dianjurkan supaya bahasa Melayu dapat diangkat seiring dengan budaya dan adat resamnya." "COVID-19\u00a0Punca Kecenderungan Kahwin Lewat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberikan impak kepada statistik perkahwinan di Malaysia. Sepanjang PKP dilaksanakan sebarang majlis keraian atau akad nikah tidak dibenarkan bagi mengelakkan peningkatan kes COVID-19.\nSituasi menunjukkan perubahan terhadap struktur perkahwinan dan peningkatan umur purata ibu bersalin dan seterusnya memberikan implikasi kepada pengurangan tempoh produktif golongan wanita berumur 15-64 tahun. Hal ini secara tidak langsung memberikan kesan kepada penurunan kadar kesuburan di Malaysia pada jangka yang panjang.\nBerdasarkan kajian yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, umur purata perkahwinan wanita menunjukkan peningkatan daripada 27.5 tahun pada tahun 2016 kepada 28.1 tahun pada tahun 2020.\n\nTrend terkini \u00a0menunjukkan ramai individu memilih untuk menamatkan usia bujang pada umur lewat 20-an berbanding dengan umur awal 20-an pada tahun 1980-an.\nSenario semasa menunjukkan kecenderungan perkahwinan lewat berlaku dalam kalangan mereka yang berpendidikan tinggi dan masih memperkukuhkan kestabilan ekonomi masing-masing,\u00a0terutamanya yang tinggal di kawasan bandar.\nPeningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi dan cabaran yang bakal dihadapi oleh ibu bapa muda pada musim pandemik ini, lantas membuatkan mereka menangguhkan hasrat menamatkan zaman bujang.\nWalau bagaimanapun, dengan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan dan pembukaan semula sektor ekonomi, serta inisiatif yang diberikan kepada pasangan berkahwin dapat membolehkan pasangan mengimbangi kerjaya dan pembentukan keluarga." "Pupuk Semangat Patriot, Sertai Rejimen Askar Wataniah \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra, Perlis \u2013 \u201cSetiap masyarakat perlu bersatu padu menggembleng tenaga dalam usaha mencetuskan ilham, menyebar luas serta menarik minat anak bangsa untuk menyertai Rejimen Askar Wataniah sebagai seorang anggota sukarelawan atau sukarelawati,\u201d titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam menekankan pentingnya peranan masyarakat untuk menyuntik semangat patriot golongan belia di tanah air ini.\nMenurut baginda, hal ini menjadi satu kerugian besar sekiranya jiwa dan keringat belia yang sihat tubuh badan dan memenuhi segala tahap minimum fizikal dan pendidikan yang diperlukan oleh Tentera Darat Malaysia dibiarkan dan tidak diguna pakai bagi tujuan yang mulia seperti ini.\nTambah Tuanku Raja Muda,\nTugas ini amatlah berat, namun akan menjadi ringan sekiranya dilakukan dengan niat yang tulus dan secara kolateral.\nDemikian titah baginda ketika berkenan berangkat menghadiri Majlis Makan Malam Gala Rejimen 504 Askar Wataniah Tahun 2021 yang diadakan di Dewan Harumanis Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Pauh Putra, Perlis.\nTurut hadir sama ke majlis yang dianjurkan bersempena dengan Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Ke-41 semenjak dari penubuhannya pada 7 September 1980 tersebut ialah Panglima Briged ke-6 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Akib Haji Yusof dan Pengarah PTSS Abdul Malek Hassan.\nSehubungan dengan itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Komander Rejimen tersebut sejak 19 tahun yang lalu turut berharap agar kemasukan\u00a0dan\u00a0keaktifan serta pengekalan anak watan Perlis akan kembali meningkat dalam Angkatan Simpanan Tentera Darat berkenaan bertepatan dengan asas penubuhan Askar Wataniah itu sendiri.\nDalam kekangan pandemik COVID-19, baginda menzahirkan rasa bangga kerana asosiasi antara pihak Rejimen dengan awam dampak ketara sepanjang tahun 2021\u00a0walaupun menghadapi krisis besar ini.\nBermotokan \u201cDi Latih untuk Perang\u201d,\u00a0Rejimen sentiasa mengadakan mesyuarat dan berusaha memastikan amanah yang diberikan\u00a0oleh tampuk pemerintahan tertinggi dalam menyediakan anak watan Perlis berminat menyertai pasukan ini terus direalisasikan\u00a0dengan jayanya." "Gambar Guru Tular Ujian Calitan Hidung Hanyalah Demonstrasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGambar tular di media sosial yang bertajuk \u201cDi sebuah sekolah, guru menjalani latihan amali dengan swab pelajar\u201d hanyalah demonstrasi ujian calitan hidung yang melibatkan empat orang guru dan empat orang murid yang dibimbing oleh dua orang Jururawat Masyarakat.\nKementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menjalankan siasatan ke atas gambar yang tular di media sosial melibatkan ujian saringan COVID-19 yang dijalankan di sebuah sekolah di Pahang. Secara keseluruhannya, seramai 16 orang murid juga telah dipilih secara rawak untuk menjalani ujian saringan COVID-19 menggunakan kit ujian air liur.\nKPM menegaskan, pengurusan ujian kendiri COVID-19 bagi murid sekolah KPM dilaksanakan mengikut ketetapan dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.\nPelaksanaan ujian kendiri ini hanya melibatkan penggunaan kit ujian air liur yang dibekalkan oleh KPM. Malah pelaksanaan ujian kendiri ini dibuat oleh murid dengan pemantauan guru.\nKPM pada 28 November 2021 telah mengeluarkan surat pemakluman berkenaan pelaksanaan ujian saringan COVID-19 bagi murid sekolah rendah yang dibuat secara penggiliran bagi sekurang-kurangnya 10 peratus murid.\n\u201cPenggunaan kit ujian secara calitan hidung tidak dibenarkan dan tidak selaras dengan arahan KPM melalui surat bertarikh 28 November 2021. Semua sekolah bawah KPM perlu akur dan hanya menggunakan kit ujian air liur,\u201d katanya dalam kenyataan hari ini." "Tindakan Tegas Dikenakan terhadap Individu yang Mempersenda OKU\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 YB Senator Datuk Ras Adiba Radzi, Presiden OKU Sentral menyelar tindakan dua individu yang merakam perbuatan mereka menggunakan parkir khas Orang Kurang Upaya (OKU) di sebuah pusat beli belah.\nMenurut beliau, tindakan mereka yang berpura-pura menjadi OKU dan menggunakan kemudahan khas parkir telah mempersendakan golongan istimewa terbabit.\nLaporan polis tetap akan dibuat terhadap individu yang mempersendakan golongan OKU, walaupun mereka sudah membuat permohonan maaf secara terbuka.\n\u201cMenghina OKU bukanlah sesuatu yang boleh dipermainkan. Kami mempunyai perasaan, kehendak dan maruah, jadi perkara sebegini harus dihentikan,\u201d katanya sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Travers, Brickfield, Kuala Lumpur.\nDua orang pemuda yang tular apabila mereka merakam aksi perbuatan mereka menggunakan parkir khas OKU mendapat kecaman orang ramai. Walau bagaimanapun, pemuda itu telah membuat permohonan maaf menerusi satu video klip.\nBukan itu sahaja, turut tular dua individu wanita yang menggunakan tandas khas \u00a0golongan OKU di sebuah stesen minyak \u00a0mengemukakan permohonan maaf secara bertulis kepada Presiden OKU Sentral ini.\n\u201cLaporan polis itu bertujuan menghalang insiden menghina OKU terus berlaku dalam kalangan masyarakat, dan sekali gus menjadikan masyarakat lebih prihatin terhadap golongan istimewa berkenaan,\u201d tambah beliau lagi." "PM Merasmikan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2013 Sejarah tercipta pada hari ini apabila Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaacob hadir merasmikan Aspirasi Keluarga Malaysia bagi meraikan pentadbiran 100 hari di bawah kepemimpinan beliau. Pelbagai acara yang bermula pada hari ini hingga 12 Disember diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) turut dijangka menarik lebih 70 000 orang pengunjung. Terdapat pelbagai pameran melibatkan penyertaan 32 kementerian, selain merangkumi segmen peluang pekerjaan, budaya, perniagaan, saluran bantuan dan lain-lain lagi.\nSecara keseluruhannya, jumlah pengunjung di semua lokasi di KLCC membabitkan Dewan 1 hingga 6 turut dikawal rapi apabila kira-kira 10 000 orang pengunjung sahaja dibenarkan masuk dalam satu-satu masa. Tegasnya, hal ini memerlukan kerjasama dan tanggungjawab semua pihak untuk menjaga prosedur operasi standard (SOP) dengan mengamalkan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan menjaga kebersihan diri sepanjang berada di pusat konvensyen tersebut.\nDalam ucapan Perdana Menteri (PM), beliau menyatakan bahawa untuk merealisasikan Aspirasi Keluarga Malaysia, kerajaan telah menggariskan enam teras atau fokus utama dalam pencapaian 100 hari ini, iaitu menstrukturkan semula ekonomi; menjamin keselamatan dan ketenteraman negara; meningkatkan kesejahteraan sosial; mempertingkat infrastruktur menyeluruh; memperkukuh penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia; serta memperkasakan penyampaian perkhidmatan. Teras ini menjadi tunjang kekuatan Aspirasi Keluarga Malaysia untuk memulihkan negara, khususnya daripada kelelahan kesan pandemik COVID-19.\nPada masa yang sama, Perdana Menteri turut mengumumkan kira-kira 24 300 peluang pekerjaan yang melibatkan 75 majikan ditawarkan melalui Karnival Kerjaya di program Aspirasi 100 Hari sepanjang empat hari ini.\n\u201cSaya tidak dapat menyebut Aspirasi 100 hari bagi kesemua kementerian satu persatu, namun rakyat boleh meneliti pencapaian mereka melalui program pada hari ini yang berlangsung sehingga 12 Disember. Oleh itu, ambillah peluang ini untuk melihat program yang disediakan, termasuklah program Bantuan Aspirasi Kerajaan, pameran peluang kerjaya, kaunter perkhidmatan kerajaan dan banyak lagi program yang dibentuk khusus untuk Keluarga Malaysia,\u201d jelas Perdana Menteri dalam ucapan perasmian Aspirasi keluarga Malaysia. Dalam ucapan tersebut, Perdana Menteri turut menyarankan semua pihak hendaklah mematuhi SOP bagi mengekang penularan wabak COVID-19 sepanjang berada di KLCC.\nPencapaian kerajaan pada hari ini terhasil melalui kerjasama tuan-tuan dan puan-puan sebagai sebuah keluarga besar yang sentiasa menyokong, membantu dan bersatu hati. Saya memahami bahawa rakyat meletakkan harapan yang tinggi terhadap kerajaan ini. Namun begitu, 100 hari bukanlah jangka masa yang memadai untuk mengukur prestasi. Masih terdapat ruang yang perlu diberikan perhatian serius dan ditambahbaikkan. Kami akan berusaha dengan sebaik-baiknya, demi kemaslahatan rakyat.\n\u201cPada kesempatan ini saya mengucapkan sedalam-dalam terima kasih, tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia ini. Keluarga kita ialah tanggungjawab bersama. Kita tetap bermuafakat dalam apa-apa jua keadaan, kerana aspirasi dan matlamat kita ialah inspirasi kita bersama-sama,\u201d demikian jelas Perdana Menteri semasa mengakhiri ucapan beliau." "Konvokesyen IPG Diadakan Secara Bersemuka\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM kali ke-11 pada tahun ini akan diadakan secara bersemuka bermula pada 27 hingga 31 Mac 2022.\nIstiadat konvokesyen ini melibatkan sebanyak 8799 orang graduan IPG bagi tahun 2020 dan 2021. Istiadat Konvokesyen IPG KPM secara bersemuka akan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).\nPerincian lanjut berkaitan dengan konvokesyen tersebut akan dimaklumkan kepada semua graduan yang terlibat dalam tempoh terdekat. Pada masa yang sama, Konvokesyen IPG KPM Secara Dalam Talian Tahun 2021 yang dijadualkan pada 20 hingga 22 Disember 2021 juga akan diteruskan mengikut perancangan memandangkan semua persiapan bagi majlis tersebut telah dilakukan. Konvokesyen tersebut akan disiarkan melalui Youtube Rasmi Institut Pendidikan Guru 2 Malaysia (IPGM) dan Facebook Konvo IPG.\nGraduan yang telah mendaftar bagi konvokesyen secara dalam talian juga boleh mengikuti konvokesyen secara bersemuka pada bulan Mac 2022. KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik demi memartabatkan tahap pendidikan negara ke aras yang lebih tinggi." "KPM Gesa Kerja Penyelenggaraan Bumbung Sekolah Disegerakan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMuar, Johor \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Muar mengarahkan pihak perunding dan kontraktor untuk mengambil tindakan pembaikan dengan segera setelah siasatan terperinci dilakukan berikutan kejadian bumbung runtuh di sebuah blok Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) seri menanti, Muar.\nPembaikan bumbung sekolah tersebut perlu dilakukan segera bagi memastikan blok-blok yang terlibat dapat digunakan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka.\nSehubungan dengan itu, KPM telah mengarahkan pihak perunding terlibat dengan kerja-kerja reka bentuk untuk menjalankan siasatan terperinci dan menyediakan laporan berkaitan kegagalan tersebut, termasuklah keselamatan kerja bumbung di blok bersebelahan.\nMenurut KPM, kerja-kerja menaik taraf bumbung sekolah dan penyelenggaraan bangunan serta kerja lain yang berkaitan di SMK Seri Menanti dilaksanakan melalui perolehan secara sebut harga oleh JKR Daerah Muar selaras dengan peraturan perolehan yang berkuat kuasa.\n\u201cJKR Daerah Muar telah mengeluarkan Surat Setuju Terima kepada kontraktor yang berjaya untuk melaksanakan kerja-kerja menaik taraf bumbung dan penyelenggaraan bangunan di sekolah berkenaan bermula dari 16 Ogos 2021 dan dijangka siap pada Januari 2022\u201d, katanya dalam kenyataan itu.\nSemasa kejadian, angin kuat telah memasuki struktur bumbung yang dalam keadaan separa terbuka telah menjadi punca kegagalan struktur bumbung di blok Meranti. Walau bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan ketika kejadian berlaku." "Lambakan Graduan Tempatan Semakin Membimbangkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nWabak koronavirus (COVID-19) yang menyerang seluruh dunia pada penghujung tahun 2019 dilihat telah melumpuhkan kesemua aktiviti di seluruh dunia, khususnya sektor ekonomi.\nTidak terkecuali bagi Malaysia yang mempunyai persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan pada tahun 2020 memberikan kesan kepada kedudukan pasaran buruh, seterusnya menyebabkan lambakan siswazah meningkat dengan ketara.\nMenurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada tahun 2019, didapati bahawa graduan siswazah tempatan meningkat sebanyak 5.29 juta atau 6.9 peratus lebih tinggi berbanding dengan 4.94 juta pada tahun 2018. Peratusan graduan siswazah dalam tenaga buruh turut meningkat 6.8 peratus daripada 4.14 hingga 4.42 juta orang pada tahun 2018 hingga 2019. Kadar penyertaan tenaga buruh graduan siswazah pada tahun 2019 pula dilihat menurun sebanyak 0.1 peratus, iaitu daripada 83.6 peratus kepada 83.5 peratus.\n\nPada tahun yang sama (2019), seramai 170 300 orang penganggur graduan siswazah dicatatkan dan jumlah ini dilaporkan meningkat sebanyak 5.5 peratus berbanding dengan tahun 2018, iaitu sebanyak 161 300. Sementara itu, menurut laporan kajian Institute of Student Employers (ISE), tahap pengambilan pekerja atau pasaran buruh graduan dan pelajar latihan atau penempatan Malaysia menurun 15 peratus kepada 29 peratus tahun lalu.\nRentetan itu, dijangkakan angka penurunan ini akan berlanjutan sehingga tahun ini dengan lebih daripada 30 peratus penurunan mungkin terjadi, khususnya bagi pekerjaan graduan siswazah. Trend penurunan yang berlaku pada tahun 2019 menyaksikan berlakunya lambakan graduan di pasaran tenaga buruh dan hal ini dilihat semakin kritikal. Pada masa yang sama, sebanyak 85 program akademik di 20 universiti awam seluruh negara telah dilupuskan pada tahun lalu.\nHari ini dengan impak Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dan pandemik COVID-19 yang berlarutan, menyebabkan ramai siswazah institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bukan sahaja menjadi penganggur, malah terpaksa mencari pekerjaan di luar bidang pengajian masing-masing.\nHal ini disokong dengan kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr. Husaini Omar, program-program akademik yang dilupuskan dilihat tidak lagi relevan dengan industri semasa dan digantikan dengan program baharu.\nUntuk program sedia ada, sekiranya tidak dilupuskan, hal ini perlu digantikan dengan mod penawaran yang berbeza atau digabungkan dengan program lain bagi memastikan program tersebut mampu berdaya saing dan menjamin kemampanan program akademik itu sendiri.\nWalau bagaimanapun, hal ini tidak bermaksud program tersebut tidak lagi penting, sebaliknya pentadbiran IPT perlu memikirkan sesuatu supaya dapat ditambah baik demi melahirkan siswazah berkualiti dari segi kemahiran.\nKajian pasaran bersama industri juga sudah dilakukan sebelum sesebuah program ditawarkan, namun keadaan ekonomi yang tidak menentu dalam situasi negara dilanda pandemik COVID-19, pastinya memberikan kesan kepada kebolehpasaran graduan hari ini.\nOleh itu, IPT yang menawarkan bidang pengajian juga perlu keluar daripada kepompong kebiasaan dan mula berfikir lebih kreatif serta inovatif untuk memastikan kebolehpasaran siswazah dapat ditingkatkan. Sudah tiba masanya pihak universiti memainkan peranan dengan menyediakan aspek pengajian yang lebih mesra dengan dunia pekerjaan daripada peringkat awal.\nDengan pelbagai saingan dan teknologi kini yang semakin pesat berkembang, graduan tidak boleh hanya melihat tahap kecemerlangan pada kertas peperiksaan dan secara teori, sebaliknya mementingkan aspek praktikal dan teknikal. Maka, tahap kebolehpasaran mereka jauh lebih tinggi berbanding dengan pelajar yang hanya belajar pada satu bidang.\nSekiranya tiada usaha dilaksanakan bagi menambah baik kemahiran sedia ada dalam usaha memenuhi keperluan industri pada masa hadapan, jurang kemahiran dalam kalangan graduan siswazah akan melebar.\nSehubungan itu, dalam usaha membantu siswazah mendapatkan pekerjaan setiap universiti juga mungkin boleh mewujudkan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan sebagai proses persiapan dan persediaan mahasiswa menempuhi alam pekerjaan.\nPersekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) turut mengakui ijazah kini bukan lagi lesen besar untuk menempatkan diri dalam dunia pekerjaan, sebaliknya pelbagai faktor lain, khususnya aspek fleksibiliti serta keupayaan komunikasi yang baik turut diberikan perhatian.\nHakikat yang harus diakui, mempunyai ijazah kini bukanlah lesen mendapat pekerjaan, sebaliknya hanya menjadi asas membina kerjaya. Peluang pekerjaan juga bukanlah bergantung pada kualiti IPT atau program yang ditawarkan oleh sesebuah universiti tersebut kerana seperti yang diketahui program-program yang ditawarkan sudah melepasi standard yang telah ditetapkan.\nOleh itu, dalam era serba mencabar hari ini, graduan perlu merebut sebanyak mungkin peluang untuk mendapatkan pekerjaan.\u00c2\u00a0Kerajaan turut berusaha membantu graduan-graduan ini dengan menyediakan platform menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Program KPT (KPT-CAP), iaitu satu usaha julung kali diadakan dalam menangani cabaran kebolehpasaran graduan dan mengurangkan pengangguran.\nAyuh graduan semua! Persiapkan diri untuk lebih berdaya saing." "Krisis Malas Membaca: Ke Arah Pembentukan \u201cHegemoni Dangkal\u201d?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKrisis hilang minat membaca terutamanya dalam kalangan warga muda merupakan krisis yang wajar dibimbangkan oleh semua pihak. Hilang minat membaca bukan suatu hal yang remeh, namun krisis sebegini mampu menjadi titik awal kemunduran bangsa. Pandang kembali ke belakang dan lihatlah bagaimana proses janaan ilmu ahli falsafah silam yang berhasil mencorakkan idea buat generasi yang seterusnya. Sulaman antara pengalaman, pemikiran, pembacaan dan penulisan memastikan alur ilmu berterusan tersalir ke dalam ufuk pemikiran masyarakat, lantas memunculkan idea-idea baharu. Simbiosis antara membaca dengan menulis memunculkan sebuah sistem pengembangan ilmu dalam melahirkan peradaban dan ketamadunan.\nJika diamati secara konsisten, budaya membaca di Malaysia boleh dikatakan berada pada keadaan yang tidak kondusif. Apakah indikatornya? Merujuk pada data yang dikeluarkan oleh World\u2019s Most Literate Nations (WMLN) 2016, Malaysia disenaraikan pada kedudukan ke 53 daripada 61 negara.\nHal ini bermakna, Malaysia merupakan negara kelapan terendah minat membacanya. Manakala, data dari World Culture Score Index pada tahun 2017 pula mendapati masyarakat Malaysia hanya memperuntukkan waktu membaca kurang daripada lima jam seminggu. Hal ini jauh bezanya jika dibandingkan dengan negara pada kedudukan pertama, India dengan 10 jam seminggu.\nMaka itu, bukanlah kejanggalan apabila sesetengah ruangan komen di media sosial kerap dihiasi oleh frasa \u201cpanjang sangat, baik lukis sahaja\u201d berkaitan dengan penulisan yang panjang lebar. Frasa ini kemudian dinormalisasikan sebagai suatu frasa yang kononnya kelakar, seolah-olah menjadi sesuatu yang dibanggakan jika tidak membaca. Samalah juga halnya bagi satu artikel lima minit yang hanya dibaca judulnya lalu dibuat kesimpulan yang membabi buta. Bayangkan, penulisan ringkas yang memerlukan kurang lima minit pun masih ada yang gagal menyelesaikannya, apatah lagi jika buku tersebut setebal 30 halaman? Trajektori ini cukup jelas untuk menggambarkan krisis kecintaan ilmu oleh sebilangan masyarakat.\nPerkembangan ini merupakan satu hal yang tidak sihat \u2014 sama ada dalam konteks pembangunan bangsa mahupun proses pengembangan ilmu. Himpunan masyarakat yang tidak membaca merencatkan percambahan minda, lalu mewujudkan sebuah masyarakat mundur.\n\u201cPenyakit\u201d ini memunculkan sebuah \u2018hegemoni\u2019 (kuasa dominasi) kemunduran pemikiran yang kemudian menjangkiti keseluruhan masyarakat. Apabila majoriti dijangkiti, inilah dinamakan sebagai \u201chegemoni dangkal\u201d yang menjadi cabaran bagi golongan inteligensia dalam menjajarkan kembali kemunduran pemikiran. \nHal ini disebabkan oleh terbentuknya sebuah keutuhan \u201cbenteng kejumudan\u201d berbanding dengan kuasa penembusan intelektual. Ketidakupayaan untuk memperbetulkan keadaan akhirnya menyebabkan kita dan generasi yang seterusnya disosialisasikan oleh \u201chegemoni dangkal\u201d ini.\nMembaca kedengarannya agak remeh, tetapi jika gagal melaksanakannya menyebabkan lahirnya generasi yang lemah daya keintelektualannya. \u201cHegemoni dangkal\u201d ini termasuklah memunculkan majoriti masyarakat yang gagal menganalisis fenomena secara objektif, gagal memunculkan idea baharu yang segar, penerimaan yang lemah terhadap perbezaan, penutupan minda secara optimum, mudah dipengaruhi, dan lemas dalam kitaran sentimen. Kelemahan daya intelektual ini menyebabkan masyarakat berisiko menjadi medium kawalan dan medium kepenggunaan melalui alat hegemoni supratruktur seperti yang digariskan oleh ahli falsafah Itali, Antonio Gramsci (lihat teori hegemoni untuk pembacaan lanjut).\nPerlu diakui, bangsa membaca merupakan bangsa yang berjaya. Kerajaan perlu memikirkan strategi ampuh untuk memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat. Hal ini turut menjadi isu nasional yang berkaitan dengan \u00a0masa depan bangsa dan negara. Generasi Z merupakan generasi yang benar-benar terancam. Kebanyakan ibu bapa kini kelihatannya terlalu memanjakan anak-anak dengan peranti seawal usia setahun jagung semata-mata untuk \u201cmemudahkan\u201d kerja. Dilengkapi peranti tersebut dengan berbagai-bagai aplikasi menarik, buku dan medium bacaan bukan lagi satu tarikan jika dibandingkan dengan permainan video. Apakah perkembangan ini berisiko melahirkan generasi bangsa Malaysia yang mundur? Strategi hari inilah yang bakal menentukannya.\n\nPenulis, Pensyarah di Centre for Languages and Foundation Studies (CELFOS), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS)." "Cabaran Pendidikan Mengikut Perspektif Islam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLedakan pemikiran berteraskan era Revolusi Perindustrian 4.0 menghasilkan impak terhadap keseluruhan aliran dalam pendidikan dan tidak terkecuali bagi mata pelajaran pendidikan Islam. Kekangan paradigma, pemikiran, penterjemahan idea, pembentukan kefahaman dan penginterpretasian amalan merupakan konflik pertembungan yang didasarkan asas pendidikan yang dibina ilmuwan terdahulu dengan penghasilan metodologi pendidikan yang dipelbagaikan. Maka, hal ini menuntut perhatian dan keupayaan pengadaptasian dalam kalangan pemegang taruh dalam sektor pendidikan seperti guru, pelajar, ibu bapa, komuniti setempat dan kementerian.\nApakah cabaran-cabaran yang dihadapi oleh bidang pendidikan secara keseluruhannya dan kesan kepada sistem pendidikan negara?\nAsas kesan boleh diperincikan berteraskan cabaran teknologi maklumat dan media massa. Teknologi bukanlah sesuatu yang asing dalam pengajaran dan sejarah Islam kerana hal tersebut merupakan suatu proses yang berterusan dan berkembang bersama-sama dengan kepandaian manusia untuk memudahkan urusan kehidupan. Oleh itu, revolusi teknologi maklumat merupakan suatu perkara yang akan terus berkembang pesat dengan ledakan ilmu. Masyarakat akan berorientasikan maklumat kerana maklumat boleh didapati dengan mudahnya kerana teknologi semakin berkembang, di samping arus semasa yang mengupayakan seseorang itu memahami teknologi maklumat dengan lebih mendalam.\nSelaras dengan perkembangan teknologi maklumat, struktur pendidikan menjadi lebih tercabar kerana terpaksa mengubah untuk menilai dan menstrukturkan semula secara keseluruhan langkah sekolah beroperasi, pendekatan yang digunakan dalam pengajaran serta cara pembelajaran. Perkara ini haruslah dilakukan secara berhati-hati agar nilai-nilai agama tidak terjejas walaupun kita inginkan kemajuan yang setara dengan negara-negara luar yang sudah pun maju terlebih dahulu berbanding dengan Malaysia, namun runtuh dari segi akhlak dan moralnya. Malahan terdapat pelbagai kesan negatif yang berlaku akibat daripada perkembangan teknologi maklumat serta media massa.\n\nAntara impak yang sering menjadi perbualan umum ialah kelekaan dalam mengerjakan ibadah, hubungan kekeluargaan yang kurang intim kerana kesibukan melayan rancangan televisyen, kemerosotan dalam pembelajaran serta tidak fokus dalam kelas kerana waktu senggang banyak ditumpukan untuk melakukan kerja-kerja yang kurang berfaedah sehingga ke larut malam. \nUntuk itu, antara saranan yang dikemukakan untuk menghadapi cabaran ini ialah segala perubahan yang dilakukan sama ada dalam kurikulum mahupun selain daripada itu hendaklah mendapatkan khidmat nasihat daripada ahli agama terlebih dahulu sebelum memutuskan hal tersebut.\u00a0Hal ini dikatakan demikian kerana kerjasama yang secara telus ini akan membuahkan hasil yang dihajati kerana terdapat kesepakatan antara para fuqaha serta ahli pakar yang lain seperti penggubal kurikulum.\nSeterusnya, segala rancangan yang tidak mempunyai nilai-nilai yang positif hendaklah dikurangkan penayangannya di kaca televisyen sebagai langkah awal untuk mengurangkan pengaruh media massa ke atas kecemerlangan diri pelajar. Sebaliknya, rancangan yang berbentuk pendidikan serta akademik hendaklah ditayangkan tidak terhad pada waktu siang sahaja malahan pada waktu perdana, iaitu sekitar pukul 7.00 hingga 10.00 malam.\nSelain itu, cabaran persepsi masyarakat berkaitan dengan didikan agama hanya terletak pada ahli agama. Menerusi aliran pendidikan moden, kurikulum itu tidak lagi terbatas pada perkara yang diberikan dalam lingkungan sekolah sahaja, bahkan juga meliputi hal-hal yang bersangkutan dengan aspek kehidupan di luar sekolah. Sehubungan dengan itu, pendidikan misalnya bukan hanya berlaku di sekolah sahaja, malahan turut berlaku di luar sekolah seperti di rumah dan kawasan kejiranan.\nIbu bapa merupakan golongan yang menjadi tunjang dalam proses pendidikan anak-anak. Pendidikan anak-anak tersebut berlaku sebelum proses kelahiran berlaku lagi, iaitu kedua-dua orang tuanya sentiasa melakukan amal soleh dan mengamalkan amalan doa menerusi matlamat untuk menjadikan anak-anak sebagai generasi yang diredai Allah SWT.\nImpak daripada itu, yang dihadapi oleh generasi pada masa ini ialah hilangnya konsep ta\u2019dib dalam pendidikan. Pendidikan itu hanya berbentuk pembelajaran untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, tetapi kurang memberikan penekanan terhadap proses mendidik, pengajaran adab serta pembentukan akhlak. Bagi menangani dilema ini, proses mendidik dan membentuk seseorang pelajar itu hendaklah membawanya ke arah pembentukan peribadi, sikap, watak serta sahsiah yang selaras dengan yang diredai Allah SWT.\nPeranan guru hanya terhad sewaktu masa persekolahan sahaja. Sekiranya amanah ini dilakukan secara satu pihak sahaja, tidak mungkin hasil yang kita inginkan itu dapat dinikmati sepenuhnya. Meskipun guru mempunyai tugasan serta bebanan kerja yang banyak, perkara ini tidaklah menjadi permasalahan besar kerana terdapat pembahagian tugas telah pun dilakukan oleh pihak pentadbiran sekolah. Pendidikan tidak berkesan jika sekolah sahaja yang memberi pendidikan sedangkan keluarga dan masyarakat tidak turut serta membantu atau sebaliknya melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kandungan pendidikan.\nSecara tuntasnya, tugasan mendidik anak bangsa terutamanya yang bergelar Muslim hendaklah dilakukan secara kolektif, iaitu secara kerjasama antara guru, ibu bapa serta masyarakat setempat. Cadangan serta gagasan untuk menghadapi cabaran-cabaran dalam pendidikan. Syed Muhammad Naquib Al-Attas menyebutkan dalam bukunya berkaitan dengan sistem pendidikan yang seharusnya diikuti oleh orang Islam, iaitu sistem yang berpaksikan ajaran Islam dengan menjadikan Rasulullah SAW itu sebagai ikutan yang terbaik.\nPendidikan yang terlalu mengikut model Barat hendaklah dikesampingkan kerana Islam juga mempunyai banyak tokoh-tokoh yang berketerampilan dalam bidang pendidikan seperti Ibn Khaldun, Imam Ghazali, Al-Qabisi dan sebagainya yang terkenal dengan pelbagai teori. Guru berperanan untuk membentuk manusia dari segi perwatakan serta penampilannya. Oleh sebab itu, seseorang guru haruslah memiliki kualiti sebagai guru yang ideal.\nGuru ideal yang dimaksudkan ialah mampan dan utuh akidahnya serta kepercayaannya kepada Allah SWT dalam semua aspek. Beliau mampu menonjolkan peribadi dan perlakuan yang diredai oleh Allah SWT dalam setiap tindak-tanduknya . Malah guru yang ideal selalu memohon pertolongan dan bimbingan daripada Allah SWT dalam menjalankan tugasannya sebagai pendidik anak bangsa. Kurikulum pendidikan yang patut diberikan kepada generasi pelajar bagi mencapai matlamat untuk melahirkan insan soleh dari segi jasmani, rohani, emosi dan intelek yang dapat memikul tanggungjawab untuk memajukan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Pendidikan membawa pengertian yang cukup luas kerana meliputi hampir kesemua aktiviti manusia daripada yang paling kecil seperti menjala ikan untuk dijadikan lauk sehinggalah kepada aktiviti yang lebih kompleks seperti berfikir dalam bentuk individu secara kolektif dan mampan.\n1. Mempersiapkan seseorang dari segi keagamaan, iaitu mengajarnya syiar-syiar agama\u00a0 melalui al-Quran dan al-Sunnah. Menerusi jalan itu potensi iman dapat\u00a0 dipertingkatkan.\n2. Melengkapkan akhlak manusia.\n3. Melengkapkan sosial manusia.\n4. Melengkapkan manusia dengan asas latihan kemahiran atau pekerjaan.\n5. Mempertingkatkan daya pemikiran kerana dengan pemikiran individu itu dapat membuat berbagai pekerjaan dan pertukangan atau kemahiran tertentu.\n6. Membekalkan individu dengan kemahiran kesenian, termasuklah muzik, syair, khat, seni bina dan lain-lain.\n\u2013 Menurut Ibnu Khaldun\n\u00a0\nProfesor Hasan Langgulung pula menyatakan terdapat tiga tujuan utama pendidikan, iaitu pertama, untuk menentukan haluan bagi proses pendidikan, iaitu ke arah manakah tujuan pembentukan generasi muda atau corak individu yang dihasilkan melalui pendidikan. Kedua, untuk merangsang dan mendorong individu bekerja bersungguh-sungguh bagi mencapai nilai-nilai murni dalam kehidupan. Ketiga, untuk menjadi kriteria dalam menilai proses pendidikan, iaitu menilai pencapaian pendidikan itu sama ada berjaya atau tidak.\nDalam konteks Malaysia, permulaan berkisar kepada pembentukan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan diteruskan dengan KSSR dan KSSM. Menerusi kurikulum ini, pendidikan Islam dan Moral amat dititikberatkan dan menjadi teras kepada mata pelajaran lain untuk memastikan matlamat pendidikan negara yang digariskan melalui Falsafah Pendidikan Negara dapat dicapai.\nKeseluruhan daripada perbincangan ini menyatakan asas kurikulum memainkan peranan penting untuk dimasukkan dalam pendidikan agar generasi yang dibentuk itu meliputi individu yang soleh melalui penerapan nilai-nilai intelek, rohani, jasmani dan emosi yang seimbang agar berkeupayaan memikul tanggungjawab yang dituntut dalam ajaran Islam. Kurikulum dan tujuan pendidikan tidak boleh dipisahkan dan saling mempunyai wasilah antara satu sama lain. Kurikulum pendidikan perlu dibentuk berdasarkan tujuan pendidikan itu sendiri. Dalam erti kata lain, kurikulum pendidikan digubal berdasarkan tujuan-tujuan tersebut. Akhir daripada keseluruhan proses ini mampu merencanakan penghasilan asas kerangka pendidikan yang dapat memperkembangkan nilai amalan dan penghayatan sebagai inti pati utama dalam setiap diri pelajar khasnya dan masyarakat amnya.\nDr. Mohd Syaubari Othman, Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris." "Pertingkatkan Jati Diri dan Cinta akan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Hampir 70 peratus golongan remaja tidak memahami konsep penggunaan bahasa Melayu secara rasmi atau tidak rasmi. Anak muda seolah-olah hilang jati diri \u00a0dan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan mereka. Demikian penjelasan Munsyi Dewan (Bahasa), Profesor Madya Dr. Ramalinggam Rajamanickam, dari Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia.\nBeliau berkongsi beberapa pandangannya kepada pelayar media sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi segmen Tutur Kita: \u201cBahasa Berwibawa Martabat di Mercu\u201d sebentar tadi yang ditemani oleh moderator, Encik \u2018Azimin Daud.\nTokoh Bahasa Melayu yang banyak menghasilkan buku ilmiah perundangan dalam bahasa Melayu ini mengajak pelayar untuk sama-sama menzahirkan kecintaan terhadap bahasa Melayu. Secara peribadi, beliau turut terkesan dengan sebilangan remaja yang masih lagi tidak memahami penggunaan bahasa Melayu dalam konteks rasmi atau tidak rasmi.\nMenurutnya, berkaitan dengan isu bahasa, DBP seolah-olah mengambil tanggungjawab penuh untuk memartabatkan bahasa Melayu di mercu.\nDalam isu bahasa, kita tidak boleh meletakkan satu beban ke atas DBP. DBP merupakan organisasi yang membantu kita dalam usaha menyebarluaskan bahasa. Beban untuk memartabatkan bahasa bukan diletakkan kepada DBP semata-mata, sebaliknya suka atau tidak, semua orang bertanggungjawab untuk memartabatkan bahasa. Untuk menjadi warganegara yang baik, selain mempunyai kad pengenalan, kita juga perlu berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Orang yang tidak berbahasa Melayu dengan baik tidak layak menjadi warganegara ini. Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan jika kita tidak boleh berbahasa Melayu, kita tidak layak menjadi warganegara ini.\nBeliau secara sinis menempelak warganegara ini yang sepatutnya malu kerana tidak tahu berbahasa Melayu berbanding dengan warga asing yang datang ke negara ini. Katanya, warga asing yang datang ke negara ini sudah mampu bertutur dalam bahasa Melayu dalam tempoh tiga bulan tetapi warganegara Malaysia yang sudah tinggal di negara ini lebih dari 60 tahun masih lagi tidak boleh berbahasa Melayu dan keadaan ini amat memalukan. Mereka bukan tidak boleh bertutur bahasa Melayu, tetapi mengambil sikap tidak mahu bertutur dalam bahasa ini.\nJelasnya, antara \u201ctidak boleh\u201d dengan \u201ctidak mahu\u201d merupakan dua perkataan yang berbeza. Tidak boleh bermaksud tidak mampu dan agak mustahil warganegara ini tidak mampu bertutur dengan baiknya. Jika mereka tidak mahu bermaksud mereka memang tidak hendak berbahasa Melayu, ibarat \u201chendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih\u201d.\nDalam hal ini, apa-apa yang berlaku lebih kepada hendak seribu dalih, iaitu sengaja memberikan alasan bahawa bahasa Melayu sukar dituturkan sedangkan sebaliknya kerana sering dituturkan oleh orang ramai. Semua orang boleh bercakap tetapi selalu orang memberikan alasan tidak tahu bercakap dalam bahasa. Masalah ini bukan berpunca daripada bahasa tetapi datangnya daripada sikap individu.\nKatanya, apabila ingin memartabatkan bahasa Melayu bukan bermaksud kita meminggirkan bahasa Inggeris, bahkan bahasa kedua ini juga penting tetapi dalam konteks negara ini perlu difahami bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu. Maka itu, suka atau tidak, sebagai warganegara kita mesti mengutamakan bahasa kebangsaan, terutama dalam urusan rasmi.\nRakyat negara ini wajib menggunakan bahasa kebangsaan. Perkara ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan, Akta Institut Pendidikan Tinggi Swasta, dan peruntukan bahasa kebangsaan dalam pelbagai jenis undang-undang. Bagi penjawat awam, mereka tertakluk pada pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam yang semuanya menuntut penggunaan bahasa kebangsaan.\nAda orang beranggapan bahawa apabila seseorang itu bertutur dalam bahasa Inggeris, statusnya akan dipandang tinggi berbanding dengan orang yang bercakap dalam bahasa Melayu. Inilah persepsi yang dapat dikesan terutama ketika mengikuti mesyuarat yang menggunakan bahasa Inggeris sedangkan mereka warganegara Malaysia.\nDalam hal ini, apakah keperluan bercakap dalam bahasa Inggeris, sekiranya ahli mesyuarat mampu memahami bahasa Melayu? Mesyuarat yang dijalankan dalam urusan rasmi yang menggunakan bahasa Inggeris tidak sah kerana mesyuarat rasmi perlu dijalankan dalam bahasa kebangsaan. Selain itu, status kita tidak ditentukan oleh bahasa. Sebaliknya status kita ditentukan oleh nilai dan pembawaan diri. Kalau kita dalam kalangan orang yang berilmu, ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk, bukan mengikut resmi jagung, makin berisi makin tegak. Orang yang berilmu tidak menunjuk pandai kepada orang lain, sebaliknya semakin berilmu, semakin berhemah tinggi dan berbudi pekerti.\nOleh itu, jika kita menggunakan bahasa Inggeris secara berlebihan, perlu diingat bahawa keturunan kita tidak akan berubah. Keturunan kita tetap berkulit sawo matang kekal sebenarnya, iaitu India kekal India, Melayu kekal Melayu, dan keluarga Sumatera kekal Sumatera. Walaupun pada hari ini kita boleh bercakap Inggeris, keturunan kita tidak akan berubah menjadi British. Inilah realitinya, berpijaklah di bumi yang nyata.\nDi samping itu, pertuturan kita perlu disesuaikan mengikut keselesaan masyarakat setempat untuk kepentingan bersama. Jika kita bertutur dengan orang kampung, gunalah loghat bahasa yang sesuai dan lebih mudah difahami oleh mereka. Penggunaan bahasa Inggeris dibenarkan mengikut konteks dan kesesuaian dan keperluan setempat. Jika kita tidak tahu berbahasa, belajarlah kerana \u201cbelakang parang jika diasah lagikan tajam\u201d. Orang yang tidak pandai jika diajar lama-kelamaan akan menjadi pandai. Oleh itu, tiada alasan untuk tidak mempelajari bahasa.\nDalam konteks pemartabatan bahasa Melayu, walaupun bahasa ibunda saya bukan bahasa Melayu, saya pencinta bahasa. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan saya mempunyai tanggungjawab untuk memartabatkan bahasa. Bukan saya sahaja yang bertanggungjawab, semua warganegara juga bertanggungjawab.\nMenurutnya, walaupun usaha yang dilakukannya itu kecil, usaha itu sebenarnya akan memberikan makna terhadap perkembangan bahasa. Dari dahulu hingga kini, terdapat usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu. Baru-baru ini, terdapat semangat baharu dalam usaha menjadikan bahasa ini sebagai bahasa kedua ASEAN. Usaha y ang baik ini tidak mampu digalas oleh DBP bersendirian tanpa kerjasama daripada semua pihak. Penerapan semangat bahasa ini perlu dimulakan dari rumah. Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Anak perlu didedahkan dengan penggunaan bahasa sejak dari rumah lagi. Tidak salah bertutur dalam bahasa ibunda tetapi perlu ada jati diri untuk mencintai bahasa kebangsaan.\nBegitu juga dengan pendidikan di sekolah, jati diri cinta akan bahasa Melayu perlu disemai. Memang benar terdapat pengajaran bahasa Melayu dari peringkat sekolah rendah hingga universiti, tetapi mata pelajaran atau kursus Bahasa Melayu ini tidak menerapkan semangat jati diri bahasa kebangsaan. Bagi saya, program ke arah jati diri bahasa Melayu perlu diadakan atau digiatkan lagi. Kita bukan sahaja mengajar bahasa Melayu, bahkan perlu menerapkan nilai jati diri bahasa Melayu dengan penuh semangat. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung dengan memartabatkan bahasa Melayu." "Buli: Sampai Bilakah?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBelum pun reda kes mahkamah yang menyaksikan kematian Pegawai Kadet Laut, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, mangsa buli empat tahun lepas, baru-baru ini kita dikejutkan lagi dengan video buli yang juga berlaku di sebuah sekolah berasrama penuh di utara tanah air.\nWalaupun kes buli yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah sering terpapar di dada akhbar dan tidak kurang juga hukuman yang dikenakan kepada mereka yang bersalah, namun tidak memberikan kesan sedikit pun kepada si pelaku. Mereka (pelaku) seolah-olah menganggap perkara tersebut sebagai remeh dan tidak perlu dirisaukan. Hal ini terbukti apabila masih ada kes-kes buli yang berlaku dan didedahkan dalam media sosial.\nPersoalannya, sampai bilakah kes ini akan berterusan? Adakah tiada jalan penyelesaian atau kesudahannya? Perkara sebegini pastinya bukan sahaja menimbulkan trauma terutamanya kepada ibu bapa, malah timbul persoalan mengapakah perkara ini boleh berlaku dan selamatkah mana-mana institusi pengajian untuk pelajar pada masa ini?\nSeperti yang kita sedia maklum, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) telah menamatkan pengajian 10 orang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dikenal pasti terlibat dalam kes buli seperti yang tular di media sosial baru-baru ini. Menurut Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Azhar Abdul Manaf dalam satu kenyataan, mesyuarat JDM telah mengkaji kes tersebut dengan teliti dan mengambil keputusan menamatkan pengajian pelajar terbabit yang berkuat kuasa pada 14 Disember.\nKeputusan tersebut membuktikan MARA mengambil serius kejadian buli yang berlaku dan hukuman yang diputuskan ini menunjukkan mereka tegas serta tidak berkompromi terhadap kesalahan buli dalam kalangan pelajar di bawah mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) mahupun tajaan MARA.\nKeputusan penamatan pengajian itu juga dibuat berdasarkan garis panduan dalam Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM. Diharapkan tindakan JDM berkenaan bukan sahaja menjadi pengajaran kepada pelajar yang terlibat dalam kes tersebut, malah juga kepada pelajar lain agar perbuatan salah laku di mana-mana institusi pendidikan di bawah MARA atau institusi lain tidak lagi berlaku pada masa hadapan.\n\nSementara itu, kaji selidik Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada tahun 2018 mendedahkan bahawa tujuh daripada 10 orang kanak-kanak di negara ini berasa bimbang dan tidak selamat dengan isu buli. Nisbah ini dilihat tinggi berbanding dengan kadar tiga daripada 10 orang kanak-kanak di Jepun atau kadar empat daripada 10 orang kanak-kanak di Britain yang bimbang tentang gejala tidak sihat itu. Bahkan, situasi yang lebih membimbangkan termasuklah hasil kaji selidik global itu juga mendapati 54 peratus kanak-kanak merasakan pandangan atau suara mereka terhadap isu tersebut tidak didengari.\nLaporan itu seharusnya membuka mata semua pihak bahawa betapa seriusnya isu tersebut dan penyelesaian holistik yang membabitkan semua pihak berkepentingan harus diambil. Hal ini penting berikutan kes buli dan perlakuan ganas ini turut mengakibatkan kematian. Mengikut statistik tahun 2015, sebanyak 3011 kes buli dilaporkan dan jumlah ini meningkat hingga 3488 kes pada tahun 2016.\nApa-apa yang dimahukan ialah pihak yang berkaitan perlu mengambil tindakan yang sewajarnya dalam usaha membendung perlakuan yang dilihat semakin \u201cmengganas\u201d dewasa ini. Ibu bapa terutamanya para pelajar ingin kehadiran mereka ke sekolah berasa selamat, di samping menjadi pelindung antara satu sama lain daripada ancaman buli. Selain itu, ibu bapa juga mahu anak masing-masing mempunyai keseimbangan yang baik dari aspek fizikal, mental dan emosi kerana isu kesihatan mental juga merupakan faktor pendorong yang mengakibatkan kes buli dan perlakuan ganas.\nPada masa yang sama, kejadian buli dalam kalangan pelajar juga boleh berlaku sama ada secara sengaja ataupun tidak. Oleh itu, ibu bapa merupakan individu yang terdekat dan bertanggungjawab untuk memantau perlakuan, adab dan pergerakan anak-anak walaupun mereka tidak bersama-sama selama 24 jam sehari.\nMasyarakat menggesa agar akta khusus bagi menangani kesalahan buli atau penderaan dalam kalangan pelajar perlu diwujudkan segera kerana selain dilihat tiada jalan penyelesaian, masyarakat berharap sekurang-kurangnya dapat mengekang masalah buli ini sebelum hal ini terus melarat. \nYang pasti, masalah buli bukanlah suatu isu baharu dalam kalangan masyarakat pada hari ini kerana sudah berlarutan sejak sekian lama dan pada akhirnya melibatkan nyawa. Oleh hal yang demikian, diharapkan semua pihak dapat membuka mata agar kes buli ini dapat diselesaikan bersama-sama supaya anak-anak yang bersekolah di asrama penuh dapat kembali hidup tenang tanpa sebarang ketakutan." "Hormati Konsep Keluarga Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nUmpama selembar benang, dikait, ditenun dan dijalin akhirnya menjadi kain yang sempurna indahnya\nPerumpamaan yang diberikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan pimpinan beliau untuk menonjolkan pentadbiran yang terbaik untuk rakyat. Kesepaduan rakyat dianalogikan sebagai benang yang akan melahirkan negara yang kuat atau kain yang indah berdasarkan tenunan yang betul.\nKonsep Keluarga Malaysia ini menunjukkan bahawa permulaan bagi kehidupan dan keutuhan bermula daripada keluarga. Menganalogikan Malaysia sebagai sebuah keluarga, setiap rakyat merupakan ahli keluarga kepada Keluarga Malaysia.\nDalam pembentukan mana-mana negara bangsa, perpaduan dan kesatuan rakyat adalah penting bagi menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara. Begitu jugalah Malaysia yang terdiri daripada pelbagai ragam rakyatnya yang dipengaruhi oleh faktor demografi serta geografi. Ditambah pula dengan cabaran semasa, hubungan antara rakyat perlu dieratkan dan jurang yang wujud dek perbezaan warna kulit, agama dan bendera parti politik perlu didekatkan. Fokusnya cuma satu, iaitu untuk mengembalikan semula Malaysia ke landasan yang tepat bagi pembentukan negara bangsa yang stabil.\n\nSelama lebih dua tahun rakyat Malaysia berdepan dengan seribu satu cabaran. Bermula dengan penularan pandemik COVID-19 yang kemudiannya membawa kepada pelaksanaan perintah kawalan pergerakan yang membatasi pergerakan rakyat.\u00a0 Kesannya, pelbagai sektor ekonomi ditutup semata-mata untuk mengekang penularan pandemik yang kembali meningkat pada awal tahun 2021. Inilah pengorbanan besar rakyat selama dua tahun lalu. Pandemik ini sudah pasti telah memberikan kesan kepada aspek sosial dan ekonomi negara. Bagi menjayakan pemulihan ekonomi dan sosial negara tidak ada mana-mana golongan yang tercicir.\u00a0 Semua golongan merentasi wilayah, agama dan kaum perlu disantuni dan dilibatkan dalam pelan pemulihan oleh kerajaan. Suara, pandangan dan rintihan setiap kumpulan didengar melalui pelbagai cara seperti libat urus antara kerajaan dengan pemegang taruh.\nInilah asas kepada konsep Keluarga Malaysia yang membawa tiga nilai utama, iaitu keterangkuman, kebersamaan dan nilai kesyukuran.\u00a0 Nilai-nilai ini penting untuk sebuah keluarga besar yang sejahtera. Di bawah nilai keterangkuman, ahli keluarga perlulah saling hormat menghormati dan kasih mengasihani antara satu sama lain. Nilai kebersamaan pula menjadikan rakyat sentiasa mencari titik persamaan dalam segenap perkara manakala dalam nilai kesyukuran, ahli keluarga dianjurkan untuk sentiasa bersyukur dan berterima kasih.\nNilai-nilai ini perlu dihayati secara mendalam oleh masyarakat supaya mereka sedar bahawa mereka merupakan sebuah keluarga besar yang perlu sama-sama bergading bahu untuk mencapai visi Keluarga Malaysia, iaitu memulihkan negara, mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi. Realitinya rakyat sebagai ahli keluarga perlu mencari titik persamaan, bukannya perbezaan. Sebaliknya, konsep Keluarga Malaysia hanya akan menjadi sia-sia dan tidak berupaya merawat luka pandemik.\nSelain itu, sebagaimana titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong, DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena istiadat mengucap selamat berangkat pada 25 Oktober lalu, iaitu dalam memastikan kejayaan konsep Keluarga Malaysia, pihak kerajaan perlu memberikan keyakinan bahawa setiap rakyat mempunyai tempat dalam keluarga ini. Kerajaan perlu mengamalkan budaya terbuka, bersedia menerima perbezaan pendapat dan menghargai pendekatan perbezaan kaedah. Ini tidak lain adalah untuk mencapai secara konsensus, pendapat atau kaedah yang terbaik untuk manfaat negara.\nTitah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah itu bertepatan untuk memastikan konsep Keluarga Malaysia berjaya mencapai tiga bidang tumpuan utama, iaitu memulihkan semula dan merapatkan jurang ekonomi, menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia di bawah naungan Keluarga Malaysia dan mengetepikan perbezaan politik untuk mencapai kestabilan. Ketiga-tiga bidang tumpuan ini boleh dicapai melalui kesanggupan rakyat dan pemimpin untuk bersatu hati dan tenaga demi membentuk keadaan persekitaran yang lebih baik.\nMeskipun konsep Keluarga Malaysia berasaskan semangat kekeluargaan, namun setiap nilai dan ciri Keluarga Malaysia masih perlu berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.\u00a0 Dua perkara ini tidak boleh dipisahkan daripada Keluarga Malaysia.\u00a0 Sememangnya konsep Keluarga Malaysia meraikan perbezaan dalam memberikan pandangan tetapi masih tertakluk pada kerangka Perlembagaan Persekutuan.\n\nMalah bagi tujuan pemantapan semangat kekeluargaan, setiap daripada ahli Keluarga Malaysia perlu akur bahawa sebagai ahli keluarga terdapat perkara yang tidak boleh diubah atau diganggu gugat. Perkara-perkara tersebut meliputi Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan berkenaan dengan Majlis Raja-Raja Melayu, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, iaitu hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera. Semua ini adalah elemen penting yang perlu difahami oleh ahli keluarga yang lain dalam Keluarga Malaysia.\nSebagai tambahan, ahli keluarga perlu saling menghormati hak yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan kepada semua rakyat di negara ini. Misalnya setiap kebebasan asasi yang diperuntukkan di Bahagian II Perlembagaan Persekutuan perlu dihadamkan seikhlas mungkin. Usahlah ada yang berselindung dengan kebebasan bersuara dengan menghamburkan kata-kata yang bersifat menghasut kepada agama, institusi beraja atau kedudukan hak kaum-kaum lain. Pada hakikatnya, setiap daripada kebebasan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan mempunyai had yang harus dihormati dan dipatuhi dan tidak bersifat mutlak.\nRujukan pada amalan undang-undang yang diamalkan di luar negara juga perlu selari dengan Perlembagaan Persekutuan yang diamalkan di Malaysia. \u201cLain padang lain belalangnya\u201d. Lain negara, maka lain undang-undangnya.\u00a0 Perkara ini perlu diamati oleh ahli keluarga Malaysia. Kini seolah-olah menjadi ikutan untuk menormalkan budaya songsang ke negara ini. Jangan menggunakan alasan Keluarga Malaysia untuk kita membawa masuk segala amalan songsang yang menjadi amalan di luar negara dan memaksa ahli-ahli Keluarga Malaysia yang lain menerima amalan-amalan ini.\nSelain itu, Keluarga Malaysia perlu dipandu dengan Rukun Negara. Lima prinsip dalam Rukun Negara tidak hanya menjadi bacaan semata-mata, malah perlu difahami dan diamalkan. Tiada ruginya bagi ahli Keluarga Malaysia berpegang pada prinsip-prinsip dalam Rukun Negara. Tegasnya, prinsip-prinsip dalam Rukun Negara akan melahirkan warganegara yang berintegriti, patriotik dan bermoral untuk membentuk Keluarga Malaysia yang tulen. Memahami Rukun Negara akan membentuk lapisan masyarakat yang bersatu padu dan boleh menerima perbezaan agama, kaum dan bahasa sebagai salah satu imej Malaysia.\nKonsep Keluarga Malaysia di bawah pimpinan YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri bin Yaakob perlu dihayati dan diperkembangkan pada peringkat pelaksana. Jentera kerajaan yang meliputi penjawat awam tidak mempunyai pilihan lain melainkan untuk menterjemahkan konsep ini dalam urusan seharian perkhidmatan awam. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata penjawat awam harus menggenggam semangat Keluarga Malaysia sebagai konsep penting dalam mengatur strategi memulihkan semula ekonomi dan menyusun semula negara.\nOleh hal yang demikian, konsep Keluarga Malaysia akan mempunyai hala tuju yang jelas apabila setiap daripada ahli keluarga mengetahui peranan dan posisi yang perlu dimainkan oleh mereka. Apabila hal ini dapat dicapai, barulah rakyat dapat merasai bahawa mereka sebenarnya ahli keluarga kepada Keluarga Malaysia yang sedang dijaga kebajikannya.\nSecara tuntasnya, Keluarga Malaysia merupakan sebuah keluarga yang besar dan unik kerana terdiri daripada pelbagai latar belakang.\u00a0 Keunikan inilah yang menjadi kekuatan buat Malaysia sejak dahulu lagi.\u00a0 Lantaran itu, segala ketidakstabilan politik, ekonomi dan sosial perlu diatasi.\u00a0 Fokus kini sewajarnya ditumpukan pada usaha memulihkan negara dan membawa kembali Malaysia ke landasan yang betul bagi mencapai negara berpendapatan tinggi. Perbalahan politik juga perlu digencatkan demi memberikan tumpuan terhadap usaha pemulihan negara supaya dapat mengembalikan kehidupan rakyat seperti dahulu." "Pemerkasaan Integriti dalam Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nApabila berbicara soal integriti, masyarakat tidak dapat lari daripada memperkatakan persoalan korupsi yang menjadi asbab kemandulan terhadap sesebuah bangsa. Integriti merupakan perkara yang sangat berkaitan rapat dengan persoalan kejujuran, tadbir urus yang mapan, nilai jati diri yang mampu melahirkan sikap yang bebas dari segala perkara negatif.\nNegara membangun acap kali dikaitkan dengan nilai integriti yang rendah dan tahap korupsi yang tinggi sekali pun sesebuah negara membangun tersebut pernah mempunyai sejarah ketamadunan yang panjang dan gemilang. Persoalan korupsi yang membelenggu sesebuah negara pastinya merumitkan proses kemajuan dan daya saing negara tersebut di pentas antarabangsa.\n\nKepimpinan yang baik dan telus datangnya dari masyarakat yang mempunyai jati diri dan sikap yang telus dan cemerlang. Masakan pemimpin yang lahir dari masyarakat mempunyai sikap yang berbeza daripada budaya masyarakat itu sendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana sudah pasti persekitaran masyarakat memainkan peranan utama dalam pembentukan seseorang individu yang kemudiannya diangkat menjadi pemimpin kepada sesebuah masyarakat tersebut.\nPandangan ilmuwan terkemuka juga menurut persekitaran yang dialami oleh mereka sebagai mana pandangan Al Maududi yang \u00a0keras terhadap hukum hakam Islam disebabkan beliau lahir di tengah-tengah masyarakat yang majoritinya bukan Islam di India sehingga beliau tidak berkompromi dengan sebarang perkara yang boleh memudaratkan Islam menurut perkiraannya.\nSeorang lagi tokoh, iaitu Sunan Kali Jaga sangat bertoleransi dengan budaya Jawa untuk berpadu dengan Islam adalah kerana beliau lahir di tengah-tengah masyarakat yang mempunyai tahap toleransi yang tinggi. Manakala Nicolo Machievelli turut mempunyai sikap yang sangat tegas terhadap pandangan politik disebabkan beliau berada pada sebuah zaman yang mempunyai persaingan yang cukup sengit di Itali. Begitu juga dengan pandangan Karl Marx yang melihat berlakunya eksploitasi antara golongan borjuis terhadap proletar kerana beliau berada di tengah-tengah penindasan borjuis terhadap golongan proletar.\nMaka itu, segala sudut pandangan seseorang individu itu datangnya dari keadaan masyarakat sekeliling. Oleh sebab itu, jika mahukan sebuah kepimpinan yang telus dan berintegriti, masyarakat perlu mengamalkan sikap berintegriti terlebih dahulu. Namun begitu, situasi yang berlaku pada hari ini, masyarakat lebih mudah menuding jari terhadap kesilapan individu lain dengan membuat kecaman seolah-olah segala permasalahan yang melanda negara itu datangnya daripada orang lain semata-mata.\nKeadaan ini mencerminkan krisis integriti yang agak serius kerana dengan menuding jari kepada pihak lain, seolah-olah segala masalah yang berlaku itu berpunca daripada orang lain dan \u00a0berpeluk tubuh terhadap segala kekusutan yang melanda. Sebagai sebuah masyarakat yang berintegriti, kita harus mempunyai rasa kebertanggungjawaban dengan saling menjaga antara satu sama lain.\nOleh hal yang demikian, untuk melahirkan kepimpinan negara yang berintegriti, sesebuah masyarakat itu perlu mempunyai tahap integriti yang cukup tinggi dan usaha ini perlu bermula dengan individu yang membentuk masyarakat itu sendiri. Penerapan nilai-nilai agama yang berlandaskan budaya luhur Malaysia pasti mampu mendaya usahakan sebuah negara yang hebat dan kompeten di persada antarabangsa.\nApabila sesebuah masyarakat itu mempunyai integriti yang tinggi, pasti kemakmuran dan kemajuan negara dalam segenap aspek dapat dicapai, kerana apa-apa sahaja pencapaian yang gemilang bermula dengan asas integriti yang tinggi." "MyLMID Meyumbang Kestabilan Pasaran Buruh Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nPutrajaya \u2013 Dalam usaha memulihkan pasaran buruh negara, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melancarkan Malaysia Labor Market Interactive Data (MyLMID), sebuah portal interaktif yang memberikan gambaran mengenai kedudukan pasaran buruh di Malaysia dalam bentuk jadual dan visualisasi data berdasarkan dimensi statistik pasaran buruh yang terperinci pada peringkat nasional, negeri dan daerah pentadbiran.\nMyLMID merupakan satu inisiatif baharu yang mengandungi maklumat pasaran buruh dalam portal bagi memudahkan akses, rujukan serta analisis statistik dengan lebih cekap bagi menjadi input dalam membuat keputusan ke arah pengukuhan pasaran buruh negara.\n\u201cSelain daripada data tinjauan yang diterbitkan oleh DOSM, MyLMID turut meliputi data pentadbiran daripada agensi terpilih. Portal ini ditambah baik dengan pelbagai sumber data supaya dapat dimanfaatkan secara optimum oleh agensi kerajaan, ahli ekonomi, ahli akademik, organisasi swasta dan individu dalam menilai kedudukan serta menganalisis senario pasaran buruh pada masa hadapan,\u201d kata Dato\u2019 Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia.\nTambah Dato\u2019 Sri Dr. Mohd Uzir, pembangunan portal ini bertepatan dengan keputusan kerajaan menubuhkan Biro Statistik Buruh Malaysia (MBLS) di bawah kawal selia DOSM bermula Jun 2020 sebagai usaha untuk merapatkan jurang maklumat pasaran buruh negara.\nSejak dunia dilanda pandemik COVID-19, kedudukan pasaran buruh global dan Malaysia dilaporkan terjejas teruk. Terkini, situasi menunjukkan trend pemulihan dengan merekodkan kadar pengangguran lebih rendah, iaitu 4.3 peratus pada Oktober 2021 bersamaan seramai 705 ribu orang penganggur.\nNamun begitu, hal ini masih belum mencapai kedudukan seperti sebelum pandemik. Situasi ini turut dialami oleh negara maju, seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada.\n\u201cDi sebalik pelbagai cabaran, pandemik COVID-19 hakikatnya telah mempertingkat kesedaran pelbagai segmen pengguna data terhadap keperluan maklumat yang holistik dengan kekerapan tinggi dalam menyokong proses membuat keputusan yang tepat secara pantas.\n\u201cKrisis ini secara tidak langsung menjadi pemangkin dalam merealisasikan aspirasi DOSM ke arah pengukuhan maklumat pasaran buruh melalui peningkatan penggunaan data pentadbiran yang tersedia di pelbagai agensi,\u201d kata Dato\u2019 Sri Dr. Mohd Uzir dalam kenyataan media hari ini.\nSelain itu, MyLMID juga menyediakan akses kepada penerbitan, kertas kajian dan garis panduan pengukuran sebagai rujukan dengan harapan ianya bermanfaat kepada setiap lapisan pengguna dalam menerokai sumber statistik pasaran buruh sekali gus menyumbang ke arah kestabilan pasaran buruh negara." "Ilmu Tiada Penghujungnya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Selepas melalui tempoh yang cukup panjang, akhirnya majlis bersejarah untuk meraikan tokoh pendidik dan para guru diadakan secara bersemuka pada hari ini bertempat di Hotel Everly, Putrajaya. Majlis Penyampaian Anugerah Hari Guru 2021 bersempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan itu disempurnakan oleh YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin, Menteri Kanan Pendidikan.\nDalam ucapan awalnya, YB Menteri Kanan Pendidikan menceritakan pengalaman getir yang dialami oleh golongan pendidik semasa detik awal untuk meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran apabila berdepan dengan pandemik COVID-19 sehingga menyebabkan negara terpaksa mengadakan sekatan pergerakan pada Mac tahun 2020.\n\u201cDalam keadaan yang begitu getir dengan peranan besar pendidik, iaitu dari Perlis hingga ke Sabah, kami mengadakan perbincangan bersama-sama di Kementerian berkaitan dengan perkara yang boleh dilaksanakan supaya dapat meneruskan sesi pengajian para pelajar,\u201d demikian ucapan YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin sebelum sesi penyampaian Anugerah Hari Guru 2021 bersempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2021 kepada tokoh pendidik dan para guru yang meraih pencapaian cemerlang dalam bidang masing-masing.\nUjar beliau, tidak ada sesiapa pun yang dapat menjangkakan pendekatan yang sesuai untuk mengatasi kemelut dan cabaran yang dihadapi oleh golongan pendidik pada ketika itu. Setiap perkara dibincangkan secara terperinci pada setiap peringkat dengan melibatkan semua warga di sektor pendidikan sehingga proses pengajaran dan pembelajaran itu tetap diteruskan walaupun dalam situasi sekolah yang terpaksa ditutup.\n\u201cKekangan utama yang dihadapi ialah melibatkan capaian Internet di bandar dan kawasan luar bandar,\u201d ujar YB Menteri Kanan Pendidikan. Jelas beliau, selain daripada isu penggunaan peranti yang tidak mencukupi, beliau memuji tindakan guru yang sentiasa beriltizam dengan berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif demi menjayakan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) biarpun pada mulanya mereka berasa agak janggal dengan situasi tersebut.\n\u201cDalam situasi yang mencabar, banyak perkara baharu telah diperkemas, iaitu dalam konteks pengurusan sektor pendidikan, kaedah yang digunakan amat dinamik,\u201d ujar beliau. Beliau turut menyatakan bahawa pihak kementerian tidak pernah berubah fikiran seperti yang diperkatakan oleh sesetengah pihak kerana apa-apa yang berlaku melibatkan pengadaptasian tindakan berdasarkan situasi semasa. Oleh sebab itu, guru amat memahami pendekatan yang dilaksanakan oleh kementerian dengan mengambil kira kekangan sedia ada.\nPada masa yang sama, beliau turut menceritakan tempoh getir yang dialami oleh warga pendididik berikutan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terpaksa ditangguhkan sebanyak tiga kali. \u201cDalam setiap kesusahan itu, ada kesenangannya, iaitu pada akhirnya banyak kebaikan yang dapat dilaksanakan dalam tempoh getir,\u201d ujar beliau. Akibat peperiksaan yang terpaksa ditangguhkan sebanyak tiga kali, pada mulanya banyak golongan yang skeptikal terhadap langkah yang diusahakan oleh kementerian, namun pada akhirnya peperiksaan itu berjaya diadakan.\n\u201cDalam pelaksanaan SPM 2021, buat pertama kalinya proses pengiraan markah dilakukan secara dalam talian disebabkan pergerakan yang terhad. Dengan kerjasama Lembaga Peperiksaan Malaysia, pemeriksaan jawapan dan markah pelajar dilakukan secara dalam talian dan akhirnya sebanyak lima juta skrip jawapan berjaya disempurnakan,\u201d dedah beliau disusuli dengan tepukan gemuruh daripada hadirin.\nYB Menteri Kanan Pendidikan turut menyentuh akan peranan guru yang disifatkan antara kumpulan yang paling terkesan dalam tempoh pandemik. Beliau mendedahkan ada dalam kalangan guru yang terpaksa \u201cberunding\u201d dengan pelajar demi memastikan proses PdPR dapat dilaksanakan dengan jayanya dalam tempoh tersebut.\nTidak ketinggalan, YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi turut menyentuh aspek pendigitalan dalam sektor pendidikan yang tidak dapat dielakkan selaras dengan tuntutan pada masa ini. \u201cApa-apa yang berlaku dalam tempoh dua tahun ini, suka atau tidak proses digitalisasi dalam sektor pendidikan tidak dapat dielakkan. Apa-apa yang dirangka dalam proses pengajaran dan pembelajaran perlu dilalui kerana dunia pada hari ini berubah pada kadar yang jauh lebih cepat,\u201d tegas beliau.\nBeliau menyifatkan pendekatan baharu dan ilmu yang dibincangkan pada masa ini begitu meluas, selain terlalu banyak maklumat yang dapat diperoleh. Tambah beliau, \u201cKita perlu memperkasakan diri dengan mengambil kira keadaan dan perubahan semasa. Keilmuan yang bergerak pesat seiring dengan perkembangan teknologi yang begitu pantas, para guru disarankan supaya lebih bersedia untuk menerima ilmu baharu kerana ilmu itu tiada penghujungnya,\u201d demikian saran YB Menteri Kanan Pendidikan dalam ucapannya petang tadi.\n\u201cKita perlu beradaptasi dalam dunia pendidikan yang bersifat dinamik. Guru-guru perlu bergerak dengan kepantasan ilmu dan teknologi. Proses pendigitalan bukanlah mata pelajaran baharu. Hal ini merupakan satu penerapan konsep yang merangkumi nilai-nilai penting dalam kehidupan,\u201d ujar beliau sebelum mengakhiri majlis dengan menyampaikan anugerah kepada tokoh pendidik dan guru-guru yang diiktiraf sebagai cemerlang bagi kategori Anugerah Khas, Anugerah Ikon, Anugerah Khas Pendidikan, Anugerah Guru Cemerlang, serta Anugerah Guru Inovatif." "18 Trivia yang Wajib Peminat Piala Dunia Ambil Tahu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKehebatan sukan bola sepak yang mempunyai empat bilion peminat di seluruh dunia sangat mengagumkan. Masakan tidak, apa-apa sahaja yang berkaitan dengan bola sepak pasti menjadikan para peminatnya begitu obsesi sehingga menjadi industri sukan yang diperdagangkan menerusi popularitinya.\nNamun begitu, bukan hal tersebut yang mahu dibincangkan, sebaliknya sukan bola sepak disifatkan sebagai medan ukhuwah antara rakyat sesebuah negara tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa. Maka, tidak hairanlah apabila perlawanan Piala Dunia sentiasa dinanti-nantikan para peminatnya biarpun pelbagai kejohanan lain atas nama kelab juga dipertandingkan. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan Piala Dunia dianggap sebagai medan pertemuan pelbagai negara dari seluruh pelosok dunia dan hanya diadakan empat tahun sekali.\nTerkini, sudah pasti peminat bola sepak yang tidak sabar untuk menyaksikan pertandingan terulung yang sedang berlangsung mulai 18 November hingga 18 Disember 2022 di Qatar. Sebelum menjelang tahun hadapan, sama-samalah kita selusuri beberapa trivia menarik tentang Piala Dunia ini.\n1)Piala Dunia pertama\nDiadakan di Uruguay pada 13 hingga 30 Julai 1930. Pada pusingan akhir, tuan rumah\u00a0 \u00a0 telah menewaskan pasukan Argentina dengan jaringan 4-2 di hadapan 68 346 orang penonton.\n2) Perlawanan yang paling jauh jaraknya\nDisebabkan Perang Dunia kedua, Piala Dunia diadakan pada tahun 1938 dan yang seterusnya pula diadakan pada 1950. Hal ini mencatatkan perbezaan 16 tahun untuk mencari pemenang yang seterusnya.\n3) Piala Dunia pertama yang disiarkan di kaca televisyen\nWalaupun dunia masih terkesan dengan krisis Perang Dunia kedua, edisi Piala Dunia 1954 berjaya disiarkan di kaca televisyen dengan usaha Kesatuan Penyiaran Eropah.\n4) Jerman dan Jepun dilarang menyertai Piala Dunia 1950\nFIFA hampir-hampir membatalkan edisi Piala Dunia 1950 disebabkan tragedi Perang Dunia Kedua, tetapi pada akhirnya FIFA meletakkan syarat, iaitu Jerman dan Jepun tidak dibenarkan menyertai edisi 1950 kerana mereka mengalami kemusnahan harta benda serta kehilangan berjuta-juta nyawa akibat penglibatan dalam peperangan tersebut.\n5) Piala Dunia pertama dikenali sebagai Jules Rimet pada tahun 1930 hingga 1970.\nTrofi baharu yang digunakan dari 1974 sehingga kini dikenali sebagai Trofi Piala Dunia FIFA yang diperbuat daripada emas 18 karat dengan dua karakter manusia memeluk bumi.\n6) Trofi pernah dicuri dua kali\nTrofi Piala Dunia era lama (Jules Rimet) pernah dicuri ketika dipamerkan kepada umum empat bulan sebelum bermulanya Piala Dunia 1966 di England. Trofi Piala Dunia era baharu pula hilang kerana dicuri daripada kabinet pameran di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Brazil, Rio De Janeiro pada tahun 1983.\n7) Pemain tertua\nPada usia 42 tahun, Roger Milla, pemain dari Cameroonian menjadi penjaring gol dalam sejarah menewaskan Rusia pada tahun 1994.\n8) Pemain dua negara di perlawanan akhir\nLuis Monti yang bermain untuk tanah airnya, Argentina pada tahun 1930 (kalah kepada Uruguay) kemudiannya menyertai Itali pula pada 1934 (menang ke atas Czechoslovakia 2-1).\n9) Piala Dunia di dua buah negara\nAsia buat pertama kali menjadi tuan rumah Piala Dunia pada 2002 dengan hos bersama antara Korea Selatan dengan Jepun.\n10) Negara yang tidak pernah putus asa\nSelepas gagal melayakkan diri ke Piala Dunia sebanyak 12 kali (Iceland) dan 10 kali (Panama), akhirnya kedua-duanya membuat penampilan sulung di Piala Dunia 2018.\n11) Penjaring terbanyak pada tahun 2002\nRonaldo menjaringkan keseluruhan lapan gol (dua di perlawanan akhir) dan menerima anugerah kasut emas sebagai penjaring terbanyak.\n12) Insiden tandukan Zinedine Zidane\nSemasa Piala Dunia 2006, pemain terbaik Perancis, Zinedine Zidane dilayangkan kad merah kerana sengaja menanduk pemain pertahanan Itali, Marco Materazzi di dada. Beberapa tahun kemudian, Materazzi mengakui kejadian tersebut berlaku kerana dia menyentuh isu yang berkaitan dengan kakak Zidane.\n13) Maskot buah oren\nPada tahun 1982, Sepanyol menonjolkan kelainan dengan menjadikan buah limau sebagai maskot mereka.\n14) Pegang bola\nMengikut peraturan FIFA, penjaga gol hanya boleh memegang bola kurang daripada enam saat. Jika melebihi tempoh tersebut, pihak lawan akan mendapat sepakan percuma.\n15)\u00a0 Asal-usul penentuan tempat ketiga\nBermula pada tahun 1954 dengan FIFA pada ketika itu mengumumkan format baharu bagi penentuan tempat ketiga dalam kejohanan ini. Pemenang tempat ketiga dimenangi oleh Austria selepas menewaskan Uruguay 3-1.\n16) Negara apakah yang\u00a0 muncul dalam semua Piala Dunia FIFA?\nBrazil\n17) Lapan negara sahaja bergelar sebagai Juara Piala Dunia\nMeskipun telah berlangsung\u00a0 sebanyak 21 edisi Piala Dunia sehingga 2018, hanya lapan negara sahaja yang pernah memenanginya. Brazil menjuarai gelaran ini sebanyak lima kali diikuti Itali dan Jerman (empat kali), Argentina dan Uruguay (dua kali) manakala England, Perancis, Sepanyol dan Uruguay masing-masing sekali.\nTrivia Emas\nNaib Presiden FIFA, Ottorino Barassi pernah menyembunyikan trofi di bawah katilnya semasa Perang Dunia Kedua kerana bimbang akan dicuri oleh tentera Nazi pada waktu itu. Dia menyeludup keluar trofi yang dikenali Jules Rimet itu daripada sebuah bank di Rom dan disembunyikan di bawah katilnya sepanjang tahun 1940-an." "Tahun Baharu, Berpijaklah di Bumi Nyata\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMasuk tahun kedua negara dalam cengkaman wabak COVID-19 yang belum kelihatan penghujungnya, dengan bermacam-macam khabar varian, ubat dan vaksin dos penggalak disebut setiap hari. Begitu pantas masa berlalu, umpama baru semalam berita sejenis virus baharu dikesan di Wuhan, China.\n\nSejak Mac 2020, hampir seluruh dunia terpalit dengan wabak ini. Berdasarkan kajian, lebih daripada 270 juta manusia dijangkit dan hampir lima juta nyawa diragut. Hanya beberapa negara terpencil dan pulau yang tidak banyak berhubung dengan dunia luar masih terlindung daripada sebarang kes jangkitan.\nWalaupun rata-rata penduduk dunia terkejut pertama kali berdepan wabak pada skala besar, tahun baharu 2021 masih cuba disambut dengan harapan dan sasaran seperti mana tahun-tahun sebelumnya. Bagaimana pula dengan tahun baharu 2022? Adakah kita masih hidup dalam dunia khayalan atau sudah boleh menerima realiti sebenar?\nSemua orang terkesan akibat wabak ini, tetapi masing-masing berdepan dengan cabaran tersendiri yang tidak boleh dibandingkan dengan cabaran orang lain. Ada yang hilang pekerjaan, hilang sumber pendapatan, namun masih sihat dan mampu berusaha mencari hala tuju baharu. Ada yang kekal atau semakin kaya, namun dijangkiti COVID-19 pula dan berterusan menderita akibat kesan berpanjangan. Ada juga yang tiada kesan terhadap dirinya, namun kehilangan ramai ahli keluarga akibat wabak ini.\nSempena ketibaan tahun baharu tidak lama lagi, seeloknya kita semua berpijak di bumi nyata, terimalah hakikat dunia sudah pun berubah dan tidak akan kembali lagi ke zaman prapandemik COVID-19.\nJangkaan kasar dunia kembali \u201cnormal\u201d paling awal pada sekitar tahun 2026, tetapi angka itu mungkin ke depan apabila hasil penemuan varian baharu dan pelbagai kekangan virus tersebut terhadap hidup manusia, di samping maksud \u201cnormal\u201d yang masih samar. Oleh itu, daripada mengharapkan boleh kembali bekerja untuk mengejar kenaikan pangkat atau gaji, cuba rancang untuk luangkan lebih banyak masa bersama keluarga, khususnya ibu bapa di kampung, adik beradik, sahabat handai dan anak-anak yang kini menghabiskan lebih banyak masa di rumah.\nDuit boleh dicari, masa bersama keluarga tidak ada tolok gantinya, apatah lagi melihatkan begitu ramai menyesali sikap mengutamakan kerjaya dan kekayaan selepas pemergian ahli keluarga disebabkan COVID-19.\n\nAkibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berulang kali, berapa banyak musim perayaan dihabiskan dengan terkurung di rumah, jauh daripada keluarga tersayang. Adakah jaminan perayaan akan datang bebas daripada PKP? Daripada mensasarkan berat badan semakin turun, lebih baik mengharapkan badan kekal sihat, tidak kira ukuran lilit pinggang atau saiz baju. Luangkan masa untuk beriadah dan bersenam, walau sesingkat mana sekalipun, jaga pemakanan dan hindarilah daripada merokok.\nSelepas berbulan-bulan hidup terkurung, sehingga ada yang kemaruk melihat alam semula jadi, ambil kesempatan kebebasan terhad ini untuk menikmati persekitaran kita. Daripada merancang untuk membeli barang mewah, perhiasan, kereta mahupun perabot baharu, cuba perbanyakkan bersedekah.\nSemoga dengan bantuan kita kepada orang di sekeliling, maka akan muncul bantuan serupa bagi orang tersayang yang berjauhan.\nBegitulah juga untuk pelbagai rancangan lain untuk diri sendiri sempena tahun baharu, Utamakan orang lain dahulu, khususnya ahli keluarga, rakan-rakan, serta jiran tetangga.\nJika ada antara kita yang belum sedar pengajaran utama wabak ini, maka ketahuilah bahawa harta kekayaan tidak akan bermakna ketika nyawa di hujung tanduk, malah begitu peritnya berdepan penyakit dan kesukaran hidup secara bersendirian.\nBegitulah juga hidup ini tiada makna tanpa orang-orang tersayang, maka hargailah mereka selagi mana hayat dikandung badan.\nJika dahulu kita dibuai mimpi mengejar duniawi, sewajarnya dua tahun dibelenggu wabak penyakit sudah menunjukkan kepada diri masing-masing apa yang lebih penting untuk sebuah kehidupan yang bahagia dan tenteram." "Tan Sri Abang Johari Kekal Ketua Menteri Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2014 Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Openg mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak selepas gabungan empat parti itu memenangi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12).\nBeliau selesai mengangkat sumpah jawatannya di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, di Astana Negeri kira-kira pukul 10.45\u00a0malam ini.\nYang turut hadir ialah isteri Tun Taib, Toh Puan Ragad Kurdi Taib; isteri Tan Sri Abang Johari, Puan Sri Juma\u2019ani Tuanku Bujang; Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang merupakan Timbalan Ketua Menteri dalam barisan Kabinet sebelum ini.\nMajlis tersebut sekali gus mengesahkan Tan Sri Abang Johari, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong pada PRN12, dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang ketujuh.\u00a0Beliau kali pertama dilantik sebagai Ketua Menteri pada 13 Jan 2017, sebagai menggantikan Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung.\nBeliau mengetuai GPS, yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), untuk pertama kali bertanding pada PRN menggunakan lambang sendiri.\nTerdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan GPS yang diketuai oleh Tan Sri Abang Johari menang sebanyak 45 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditawarkan pada PRN12.\nPengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata dengan keputusan itu, GPS berjaya memperoleh majoriti melebihi 50 peratus daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan atau majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri." "Kementerian Berkaitan Diarahkan Gerakkan Aset ke Kawasan Terjejas Banjir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2014 Rentetan daripada hujan lebat yang mengakibatkan banjir yang melanda di beberapa buah negeri, Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob menerusi catatan di laman Facebook miliknya mengarahkan semua kementerian yang berkaitan untuk menggerakkan aset ke\u00a0kawasan yang terjejas dengan banjir. Usaha ini menurut Perdana Menteri adalah untuk memastikan rakyat dapat diselamatkan dan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan segera.\nTambah Perdana Menteri, pada Jumaat lalu, beliau telah diberikan taklimat oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berhubung dengan keadaan banjir yang melanda di beberapa buah negeri ekoran hujan lebat yang berterusan.\nSaya telah bercakap dengan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang\u00a0dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani supaya\u00a0menggunakan aset tentera, polis, Angkatan Pertahanan Awam, bomba dan agensi sokongan yang lain untuk memindahkan mangsa banjir dan memastikan bekalan makanan serta keperluan selain khidmat kesihatan disediakan segera di PPS. Saya juga telah mengarahkan NADMA untuk menyediakan talian kecemasan bagi memudahkan komunikasi mangsa banjir yang masih terperangkap selain mendapatkan maklumat menerusi laman media sosial rasmi NADMA dan agensi terlibat,\u201d ujar Perdana Menteri.\nNADMA juga\u00a0diminta untuk turut bekerjasama dengan wakil rakyat di setiap kawasan kerana mereka pastinya mempunyai maklumat lengkap mengenai mangsa banjir.\n\u201cPengumpulan maklumat ini akan dapat menyegerakan semua pelaksanaan pemindahan dan bantuan,\u201d jelas Perdana Menteri.\nTidak lupa, Perdana Menteri turut meminta Keluarga Malaysia\u00a0yang berada di kawasan yang terjejas dengan banjir agar mematuhi arahan berpindah oleh pihak berkuasa.\nJaga keselamatan diri dan keluarga. Saya akan terus memantau situasi bencana ini dari semasa ke semasa dan akan memaklumkan kepada Keluarga Malaysia tentang langkah dan tindakan yang dilaksanakan,\u201d ujar Perdana Menteri lagi." "YB Datuk Dr. Radzi Tinjau Mangsa Banjir di SMK Telok Panglima Garang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTelok Panglima Garang, Selangor \u2013 Hujan lebat yang berterusan dalam tempoh dua hari ini menyebabkan kebanyakan kawasan di sekitar Lembah Klang, terutamanya Selangor telah dinaiki air pada paras yang tinggi.\nRentetan keadaan banjir yang disifatkan luar jangkaan ini, banyak sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digunakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS).\nSekitar pukul 1.00 pagi tadi, Menteri Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin turut meninjau keadaan mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Panglima Garang yang dijadikan satu daripada PPS.\n\n\n\nDalam tinjauan tersebut, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memberikan taklimat berkenaan dengan situasi terkini di pusat ini, seperti urusan pemindahan mangsa banjir oleh pasukan penyelamat dan lain-lain lagi.\nAlhamdulillah, semua urusan permindahan berjalan lancar. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam proses membantu mangsa-mangsa banjir ini, termasuklah pihak sekolah.\n\u201cKami di KPM sentiasa bersedia membantu agensi berkaitan dalam memastikan PPS di sekolah bawah KPM dapat beroperasi dengan teratur.\n\u201cSama-samalah kita berdoa agar urusan pengendalian mangsa banjir di sini serta tempat-tempat lain di seluruh negara dipermudahkan,\u201d ujar YB Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi laman Facebook peribadinya yang menzahirkan rasa keprihatinan dan bersedia bersama-sama pihak KPM untuk memberikan bantuan kepada pihak yang terkesan ini." "Bukti Keantarabangsaan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nBangi \u2013 Sejajar dengan saranan dan hasrat Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri\u00a0 Yaakob yang ingin menjadikan bahasa Melayu sebagai satu daripada bahasa rasmi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), pelbagai wacana yang berkaitan dengan pengantarabangsaan bahasa Melayu giat berlangsung mutakhir ini. Walau bagaimanapun, masih ada segelintir pihak yang masih ragu-ragu terhadap kemampuan pengantarabangsaan bahasa Melayu.\nSehubungan dengan itu, Institusi Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan wacana yang bertajuk \u201cKeantarabangsaan Bahasa Melayu: Bukti Sejarah\u201c, yang disampaikan oleh Profesor Antarabangsa Tersohor, iaitu Prof. Dr. James T. Collins dari Institut Kajian Etnik (KITA), UKM pada pagi tadi.\nPensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UKM, Prof. Madya Karim Harun pula bertindak selaku pemudah cara bagi wacana ini yang turut disiarkan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom dan laman sosial Facebook ATMA. Yang turut hadir dalam program wacana tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang juga merangkap Pengarah ATMA, iaitu YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.\nBagi prakata bahasa Melayu, Prof. Dr. James memetik kenyataan daripada seorang profesor Indonesia, iaitu Prof. Dr. Anton Moeliono yang menyebut \u201cBahasa Indonesia masih sama dengan bahasa Melayu dan kita tidak akan jujur jika hendak mengatakan bahawa bahasa Indonesia bukan bahasa Melayu lagi\u201c. Sejarah pula merujuk sesuatu yang harus ada dokumentasi sama ada yang ditulis atau dirakam.\nBeliau turut menerangkan tentang konsep kosmopolis Sanksrit yang diutarakan oleh Profesor Pollock pada tahun 2006. Kosmopolis itu membawa maksud sesuatu lingkungan budaya, politik dan astetik yang jauh lebih besar daripada hanya satu negara atau wilayah. Menurut Prof. Pollock, kosmopolis Sanskrit bergerak dari Asia Selatan ke Asia Tenggara. Sehubungan dengan itu, beliau ingin melihat impak kosmopolis Sanskrit kepada masyarakat di kepulauan Asia Tenggara.\nTambahnya lagi, pada tahun 385, batu prasasti telah dipahat dalam bahasa Sanskrit di tenggara Pulau Borneo dan merupakan bahasa Sankrit pertama yang ditemui di seluruh kepulauan alam Melayu. Permulaan sejarah bahasa Melayu bermula sejak 1600 tahun lalu dengan penemuan beberapa batu prasasti seperti Prasasti Talang Tuwo dan Prasasti Kedukan Bukit. Sudah terbukti bahawa sejak zaman tersebut, bahasa Melayu sudah ditulis, dibaca dan digunakan untuk mendokumentasikan situasi politik di Sumatera Selatan. Namun begitu, pada waktu itu, tulisan Sanskrit dipinjam untuk menulis bahasa Melayu.\nBahasa Melayu sudah sampai di Manila pada tahun 900 yang dibuktikan melalui sekeping tembaga yang ditulis dalam bahasa Melayu dan baru ditemui pada tahun 1987. Penemuan ini menjadi bukti bahasa Melayu sudah menjadi bahasa antarabangsa walaupun masyarakat di Filipina berbahasa Tagalog.\nSelanjutnya, penerangan beliau beralih pula pada abad ke-16. Pada masa itu, telah ada surat diplomatik yang ditulis dalam bahasa Melayu menerusi tulisan Jawi dan merupakan surat tertua dalam bahasa Melayu. Surat tersebut merupakan surat yang diutus oleh Sultan Abu Hayat di Pulau Ternate kepada Raja John III, dari Portugal. Walaupun masyarakat di pulau tersebut tidak menggunakan bahasa Melayu Polinesia tetapi hubungan diplomatiknya di peringkat antarabangsa menggunakan bahasa Melayu.\nPada tahun 1521, seorang rakyat Itali, Antonio Pigafetta telah sampai di Pulau Tidore dan mencatatkan kata-kata dalam bahasa Melayu walaupun bahasa masyarakat di sana bukanlah menggunakan bahasa yang bukan sekeluarga dengan bahasa Melayu. Prof. Dr. James turut menganggap bahawa daftar ini merupakan daftar kata yang paling tua untuk bahasa Melayu.\nPada abad ke-17 pula, telah banyak surat dalam bahasa Melayu yang dijumpai. Antaranya termasuklah Perjanjian Bongaya antara kerajaan Belanda dengan kerajaan Makassar. Perjanjian tersebut tidak ditulis dalam bahasa Makassar sebaliknya menggunakan bahasa Melayu. Pada tahun 1623, warganegara Belanda telah menulis kamus bahasa Belanda-bahasa Melayu dan bahasa Melayu-Belanda di Pulau Ambon dan bukannya di Melaka. Kamus tersebut digunakan oleh orang-orang Belanda yang datang ke Kepulauan Melayu. Kedua-dua bukti yang ada jelas menunjukkan bahasa Melayu sudah pun menjadi bahasa antarabangsa pada masa tersebut.\nPada abad ke-18, terdapat surat diplomatik yang ditulis dalam bahasa Melayu oleh Sultan Nuku kepada Gabenor Inggeris di Bengkulu (Sumatera). Pada tahun 1780, wujudnya kamus Belanda-Melayu-Portugis bagi kegunaan orang di Jakarta dan Melaka pada waktu itu.\nTambahnya lagi, pada abad ke-19, iaitu pada tahun 1872, terdapat satu surat yang ditulis oleh imam di sebuah kawasan terpencil di Kampung Walai, Aru, Maluku Tenggara dalam bahasa Melayu yang bertulisan Jawi. Menurut Sarjana Evolusi Inggeris, iaitu Alfred Wallace, walaupun masyarakat di kawasan itu masih tidak bertamadun, sebenarnya mereka telah mempunyai tulisan. Surat tersebut menjadi bukti bahawa bahasa Melayu telah tersebar jauh hingga ke kawasan terpencil dan bukannya hanya menjadi bahasa antara raja dengan kerajaan semata-mata. Pada tahun 1819, terhasilnya kamus bahasa Melayu yang diterbitkan di London.\nPada abad-20, tiba-tiba bahasa Melayu bertukar menjadi bahasa Indonesia berdasarkan kandungan Sumpah Pemuda pada 28 Oktober 1928. Pada tahun 1943, sebuah buku yang bertajuk Malay. A Guide to the Spoken Language telah diterbitkan untuk kegunaan askar Amerika yang menyerang orang Jepun di Pulau Jawa dan sekitarnya. Sebuah kamus, iaitu A Malay-English Dictionary: Romanised telah diterbitkan di Greece pada tahun 1932.\nSudah lebih dari 500 tahun bahasa Melayu menjadi bahasa antarabangsa dan bahasa Melayu sudah pun berstatus bahasa antarabangsa berdasarkan segala bukti sejarah yang ada. Walau bagaimanapun, usaha pengantarabangsaan bahasa Melayu kini lebih bertumpu kepada memberikan kesedaran dan keyakinan kepada penutur bahasa Melayu tentang keupayaan bahasa ini menjadi bahasa antarabangsa.\nBeliau turut memetik kata-kata F. Valentyn pada tahun 1726, iaitu \u201cBahasa Melayu sudah digunakan di seluruh Nusantara dan di semua negara Timur sebagai sebuah bahasa yang difahami di mana-mana dan oleh sesiapa pun serta di bandar-bandar perdagangan dan pedalaman Teluk Parsi dan sejauh Filipina." "Fasiliti KPM Dibuka sebagai PPS\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR-Sejak tengah hari semalam, fasiliti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di seluruh negara terus dibuka sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan menerima mangsa-mangsa banjir di kawasan terbabit.\nMenurut YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin, Menteri Kanan Pendidikan, warga KPM juga tidak terkecuali turun ke lapangan bagi membantu mangsa-mangsa yang dipindahkan selain memastikan kelancaran operasi PPS di sekolah.\nBerdasarkan situasi semasa, beliau telah mengarahkan semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN-PPD) supaya sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan dengan pengurusan bencana, khususnya dalam usaha memudahkan penggunaan fasiliti KPM sebagai PPS.\nDalam laman sosial Facebook milik beliau, YB Menteri Kanan Pendidikan turut mendoakan agar usaha membantu rakyat yang terjejas akibat banjir dipermudahkan. \u201cSaya akan pastikan semua fasiliti KPM dimanfaatkan sepenuhnya untuk membantu mangsa yang terlibat, iaitu sebelum atau selepas banjir,\u201d ujar beliau.\nBeliau juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga KPM atas segala khidmat yang diberikan." "Menelusuri Pemikiran Seorang Pemimpin dalam Xi Jinping: Tadbir Urus China I\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKUALA LUMPUR \u2013 Hubungan diplomatik Malaysia-China yang terjalin sejak tahun 1974 terus kukuh, namun pada kali ini hubungan tersebut diterjemahkan melalui kerjasama dalam bidang penerbitan pula. Sejarah tercipta pada hari ini, bertempat di Dewan Pleno, Aras 3, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama-sama Foreign Language Press (FLP) menganjurkan Majlis Pelancaran Buku Xi Jin Ping: Tadbir Urus China I. Pejabat Penerangan Majlis Negeri China (SCIO), China International Publishing Group (CIPG) serta Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia bertindak selaku penaja demi memastikan majlis yang diadakan dapat berlangsung dengan jayanya.\nMajlis dimulai dengan ucapan TYT Ouyang Yujing, Duta Besar Republik Rakyat China, diikuti dengan ucapan oleh YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, ucapan Dua Zhanyuan selaku Presiden China International Publishing Group (CIPG) yang diadakan melalui rakaman radio, kemudian disusuli dengan ucapan oleh YB Xu Lin, Timbalan Ketua jabatan Publisiti Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China merangkap Menteri di Pejabat Penerangan Dewan Negara Republik Rakyat China (SCIO) yang juga melalui rakaman radio. Kemuncak acara dirasmikan oleh Tan Sri Azhar Azizan Harun, Yang Dipertua Dewan Rakyat.\nBuku terjemahan yang dilancarkan pada hari ini merupakan kompilasi hasil kerja Presiden China, Xi Jinping yang dihasilkan sejak 15 November 2012 hingga 13 Jun 2014 yang meliputi 79 teks ucapan seminar, forum, wawancara, komentar, nota penjelasan, sedutan ucapan, serta inti pati kenyataan yang terbahagi kepada 18 bab.\nImpian China sebagai Impian Sedunia.\n\nItulah yang dapat diungkapkan apabila meneliti secara permukaan isi cerita yang terdapat dalam buku yang wajar dimiliki oleh segenap lapisan masyarakat jika ingin menelusuri sejarah yang panjang tentang China. Buku tersebut memberikan penjelasan dan ketidakfahaman orang awam berkaitan dengan masyarakat di negara China. Presiden Xi Jin Ping ada menyebut dalam tulisan beliau bahawa impian masyarakat China ialah kebahagiaan dan kegembiraan yang sama dengan impian rakyat di negara-negara lain.\nOleh hal yang demikian, nilai teras sosialisme yang perlu diikuti menerusi versi China menurut Presiden Xi Jinping termasuklah memupuk amalan yang membawa keamanan, kemakmuran, demokrasi, keadilan, peradaban keharmonian, keluhuran undang-undang, nilai patriotisme, mengutamakan integriti dan nilai persahabatan.\nPenerbitan Xi Jinping: Tadbir Urus China I dalam bahasa Melayu dapat diandaikan sebagai hadiah tahun baharu bagi penggemar yang sekian lama menantikan penerbitan buku ini. Pelbagai unsur positif dapat dicerap menerusi kandungan buku ini, khususnya\u00c2\u00a0 hala tuju negara dalam menghadapi arus kemodenan, globalisasi yang memberikan impak kepada rakyat dan pembangunan China yang kini menjadi kuasa kedua terbesar di dunia." "Merealisasikan Keluarga Malaysia Tatkala Dilanda Musibah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMalaysia sedang berduka pada ketika ini apabila beberapa buah kawasan musnah dilanda banjir yang tidak terduga akan kehadirannya. Ketika negara ini masih bergelut dengan kemelut pandemik COVID-19, berlaku pula banjir besar di luar jangkaan sehingga membawa kesukaran kepada masyarakat terutamanya bagi golongan yang tinggal di kawasan yang berkepadatan tinggi.\nNamun begitu, di sebalik bencana ini, timbul suatu perkara yang begitu membanggakan, iaitu semangat perpaduan, simpati, empati dan belas kasihan yang ditunjukkan oleh masyarakat tanpa mengira bangsa, agama, keturunan mahupun umur. Mereka sememangnya telah memanifestasikan Keluarga Malaysia seperti yang telah dilaungkan oleh kepimpinan negara.\nPelbagai bentuk bantuan yang diberikan dan sumbangan itu sangat diperlukan oleh golongan yang terjejas akibat musibah yang tidak terduga itu. Situasi semakin kritikal apabila masih ada yang terperangkap dalam kediaman yang telah ditenggelami air. Situasi yang lebih meruntun hati juga dapat disaksikan apabila ada mangsa yang ditemui sudah tidak bernyawa.\nHarapan disandarkan kepada mereka yang memiliki kelebihan kudrat tenaga, sumber fasilitet dan kewangan bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terkesan. Permuafakatan segenap lapisan masyarakat yang ditunjukkan benar-benar membuktikan bahawa rakyat Malaysia memiliki sifat prihatin dan nilai kemanusiaan yang luar biasa. Tanpa acuan ataupun laungan Keluarga Malaysia, mereka mampu menjadi masyarakat yang memahami dan bertindak balas terhadap kesusahan yang dialami oleh individu lain.\nRakyat pada ketika ini berjaya membuktikan bahawa satu daripada cita-cita Rukun Negara, iaitu mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan sebuah masyarakat diyakini hampir tercapai.\nSyabas kepada seluruh rakyat Malaysia yang berjiwa besar dan penyayang. Apa-apa yang diharapkan supaya semangat ini dapat diteruskan bagi menjadikan negara ini sebuah negara yang teguh dan harmoni walaupun sedang dilanda badai. Semoga diberikan ganjaran yang sebaik-baiknya bagi mereka yang membantu dan bersimpati serta diberikan kekuatan dan ketabahan kepada mereka yang terkesan dan terjejas oleh musibah ini.\nDr. Naziatul Aziah Mohd Radzi, Pensyarah Kanan, Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan, Universiti Malaysia Kelantan, Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan." "PPMM Menyantuni Mangsa Banjir DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2013 Bencana banjir yang berlaku baru-baru ini turut dialami sejumlah 16 orang karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka dari pelbagai kawasan. Kejadian yang disifatkan antara yang terburuk itu mendapat perhatian Pengurusan Tertinggi DBP. Pada 18 Disember 2021, Pasukan Sukarelawan DBP yang diketuai oleh Encik Hasmadi Mohd. Ali, Ketua Bahagian Pentadbiran Am DBP, diwujudkan untuk menyelaras dan menyalurkan bantuan dengan segera kepada karyawan yang terjejas.\nSejak dua hari lalu, kerja-kerja pembersihan di rumah karyawan yang menjadi mangsa banjir terus dilaksanakan. Bantuan awal ini meliputi agihan bahan makanan, pakaian, sumbangan wang tunai dan pembersihan rumah oleh pasukan yang dianggotai oleh Ketua-ketua Bahagian dan kakitangan DBP pada pelbagai peringkat.\n\n\n\n\nInsiden yang menimpa karyawan DBP tersebut telah mendapat perhatian Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM). Pada hari ini bertempat di lobi Menara DBP, sebuah majlis ringkas penyerahan sumbangan pihak PPMM kepada karyawan DBP telah diadakan. YBrs. Encik Roslizam Rahim, Naib Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) mewakili YBhg. Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden PPMM, telah menyerahkan sumbangan tersebut kepada YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP. Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Encik Hasmadi Mohd. Ali, Puan Hajah Norjanah binti Yusof, Ketua Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran DBP, Puan Yusmawati Ab.llah, Pengerusi Biro Kebajikan PPMM dan Encik Mohamad Amirnizam Azmi yang juga dari PPMM.\nDalam pertemuan singkat itu, Ketua Pengarah DBP mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada PPMM atas perhatian dan sumbangan yang diberikan kepada mangsa banjir DBP. Ketua Pengarah juga mendoakan agar seluruh mangsa banjir dapat bertenang dan beliau percaya semua pihak bertungkus-lumus untuk memberikan bantuan kepada golongan yang terjejas, selain memberikan tumpuan kepada misi bantuan kepada mangsa banjir yang lain.\nEncik Roslizam Rahim juga berharap agar karyawan DBP yang terjejas akibat bencana banjir\u00a0 serta mangsa banjir yang lain akan terus dibantu khususnya dari segi material serta sokongan psikologi. Menurut Puan Yusmawati Ab.llah, tuntutan insurans tidak boleh dilakukan oleh mangsa banjir kerana klausa tersebut tidak terdapat dalam polisi insurans bagi melindungi pemegang insurans yang terjejas kerana bencana alam termasuk diri dan harta benda.\nPerkara yang boleh dilakukan ialah pihak tertentu disarankan untuk memberikan bantuan dari segi material mahupun sokongan psikologi. Tambah beliau, PPMM akan terus bersedia menghulurkan bantuan yang boleh disalurkan berdasarkan pengalaman dan kepakaran sedia ada pihak PPMM, agar mangsa banjir\u00a0 dapat diberikan bantuan secepat yang mungkin.\nPertemuan ringkas itu diakhiri dengan penyerahan Kamus Dewan Perdana oleh Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran kepada Encik Roslizam Rahim." "Psikologi dalam Mendidik Anak-anak dan Pelajar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam bidang pendidikan, ibu bapa berperanan mendidik anak-anak di rumah. Peranan ibu bapa sebagai \u201cguru\u201d di rumah juga sangat penting dalam membentuk perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek seseorang anak. Manakala guru pula berperanan mendidik dan mengajar pada peringkat sekolah rendah dan menengah. Ibu bapa boleh mendidik anak-anak mereka mengikut kemampuan dan kebolehan mereka dengan memberikan perhatian kepada kebersihan, adab sopan, mengamalkan suruhan agama dan melakukan perkara yang membentuk kehidupan mereka pada masa hadapan.\nOleh itu, ibu bapa dan guru perlu sentiasa bekerjasama dan memahami serba sedikit perkara yang berkaitan dengan berkaitan psikologi pendidikan supaya dapat membantu mereka ke arah pendidikan yang berkesan di rumah dan di sekolah. Kerjasama antara ibu bapa dengan guru sangat penting diwujudkan di sesebuah sekolah, misalnya melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang ditubuhkan. Peranan PIBG di kebanyakan sekolah kurang berfungsi dalam erti kata membentuk kerjasama antara ibu bapa dengan guru bagi mendidik murid dengan cemerlang.\nSementara itu, kerjasama erat antara guru dengan ibu bapa begitu penting bagi menghasilkan murid dan pelajar yang cemerlang dalam ilmu pengetahuan dan juga tingkah laku serta akal budi mereka. Melalui proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc), serta pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) membolehkan anak-anak terdidik dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek yang seimbang.\nTidak dinafikan psikologi Islam juga telah berkembang lama seiring dengan psikologi Barat. Islam mengambil landasan penting daripada Al-Quran dan Hadis sebagai usaha mendidik anak-anak dengan iman, adab, akhlak, amal dan ibadat yang menuju ke arah ketakwaan. Islam jelas menyarankan supaya mendidik anak-anak mengikut zamannya. Ibu bapa berperanan mendidik dan memberikan nama yang baik, mendidik adab yang baik, memberi kedudukan yang baik serta melatih anak-anak melakukan perkara yang baik dalam kehidupannya.\nDari segi psikologi pembangunan manusia, jika diteliti pastinya hal ini menghuraikan secara terperinci segenap aspek berhubung dengan pembangunan manusia, iaitu bermula dari peringkat kanak-kanak, remaja sehinggalah dewasa. Kajian ini berkaitan dengan sejak pertumbuhan dan perkembangan, pengaruh baka, sebelum dan selepas kelahiran, perkembangan holistik, konteks perkembangan remaja, perkahwinan dan dewasa.\nKajian Wiliam Jemes yang mendefinisikan psikologi sebagai, \u201csains bagi kehidupan mental\u201d yang meliputi aspek-aspek seperti perasaan, keinginan, kognisi, penaakulan, membuat keputusan dan lain-lain yang berkaitan sains tingkah laku dan proses-proses mental merujuk kepada pemikiran perasaan dan ingatan. Imam Al-Ghazali pakar psikologi Islam menyarankan proses pendidikan melalui nasihat dan bimbingan. Melalui nasihat dan bimbingan itu dikatakan lebih berkesan terutamanya apabila dilakukan oleh ibu bapa melalui contoh dan teladan yang baik.\nManakala, Wilhlem Wundt (1832-1920) yang mendapat jolokan Bapa Psikologi Moden pertama menggunakan kaedah saintifik, iaitu mendidik dengan kaedah psikologi. Kaedah ini lebih kepada mendidik pelajar di dalam kelas bagi membentuk peribadi murid mengikut apa-apa yang telah digariskan oleh pakar pendidikan.\nSarjana pedagogi kritis seperti R.Dreeben (1968) , Kathleen Lynch\u00a0 dan Eric Margolis menyebutnya sebagai \u201ckurikulum tersembunyi\u201d (hideen curriculum), iaitu sebuah dimensi pendidikan secara tidak langsung yang mensosialisasikan murid ke dalam masyarakat. Dalam erti kata lain, inilah guru yang sewajarnya dilihat sebagai kelompok intelektual transformatif kerana mereka perlu bertanggungjawab mengemudi hala tuju pendidikan. Oleh hal yang demikian, guru bukan sahaja mendidik dengan setakat membantu proses membaca dan mengira, malah turut berdialog, mengkritik serta membina rukun sosial dan budaya yang bakal membentuk pandangan alam murid sebagai penggerak perubahan sosial yang berkesan.\nOleh sebab itu, tumpuan kepada akal, perasaan dan juga hati mestilah diberikan pendidikan yang sewajarnya apabila berada di rumah dan di sekolah. Keseimbangan pendidikan antara ibu bapa dengan guru perlu diteruskan dari semasa ke semasa. Pada masa ini, peranan PIBG begitu penting bagi mendidik murid di sekolah. Kerjasama erat antara ibu bapa dan guru mampu menjadikan murid berjaya dalam pelajaran dan sahsiahnya.\nBerkaitan dengan tingkah laku sosial pula, menurut pandangan Beck (1982), sikap ialah suatu istilah yang pada umumnya digunakan untuk merujuk kepada perasaan positif atau negatif seseorang atau sesuatu. Oleh sebab itu, sikap merupakan pembawaan cara bertindak, kepercayaan atau perasaan positif atau negatif terhadap objek, manusia, situasi atau idea. Perasaan inilah yang akan menentukan pelbagai bentuk tingkah laku sosial.\nIbu bapa dan guru juga wajar mendidik anak-anak ke arah pembentukan sifat positif dalam kehidupan mereka. Pandangan yang positif mestilah sentiasa diberikan kepada anak-anak melalui motivasi yang diberikan. Pendidikan akhlak dan nilai murni dapat membentuk anak-anak yang berkeyakinan dan mempunyai jati diri yang kukuh. Sebagai contoh, seseorang bapa itu mempunyai cara tersendiri bagi menggembirakan anak-anak dalam proses sosiologi mereka. Ketegasan mereka dapat mendidik anak-anak menjadi anak berdisiplin, bertanggungjawab, berdikari dan juga memahami tugas sebagai lelaki pada masa depan. Begitu juga dengan ketegasan, mereka dapat mengelakkan anak-anak terjebak dalam kancah masalah sosial seperti merokok, melepak dan terbabit dalam kegiatan lumba haram.\nMenurut Field dan Widmayer, seorang ibu pula mempunyai kecenderungan yang lebih untuk bertindak balas terhadap pertuturan anak-anak.\u00a0 Dengan cara melayan anak, ibu secara tidak langsung membantu dalam pembentukan pola pertuturan kanak-kanak. Pada kebiasaannya, hubungan mereka lebih dekat dengan anak-anak. Ibu juga kaya dengan sifat kelembutan, kasih sayang dan disertai dengan ketegasan yang dapat membentuk jati diri anak-anak supaya taat mengerjakan ibadah, menepati masa, dan kaya dengan kasih sayang serta sifat kemanusiaan. Ibu juga dapat membentuk iman dan akhlak anak-anak yang baik dan terpuji.\nPeranan ini sewajarnya disambut oleh para guru pada peringkat awal kanak-kanak di Tadika, diteruskan di sekolah rendah dan dimantapkan di sekolah menengah bagi memperteguh jati diri, peribadi dan sahsiah seseorang pelajar yang akan menghadapi kehidupan yang penuh cabaran pada masa depan.\nJika dikaji dan diteliti fenomena pada masa ini, anak-anak yang berilmu tetapi kurang beriman dan berakhlak pada akhirnya akan menemui kegagalan dalam kehidupan mereka. Oleh itu, keseimbangan ilmu, iman dan akhlak sangat penting bagi menentukan kejayaan dalam kehidupan pada masa akan datang. Elakkan anak-anak terpengaruh dan lalai dengan sesuatu yang tidak berfaedah dalam era globalisasi ini. Proses PdP yang berkesan sama ada di rumah dan di sekolah perlu mendapat bimbingan dan bantuan daripada ibu bapa dan guru serta masyarakat. Melalui nasihat yang baik dan bimbingan yang berkesan sahaja akan menjadikan mereka mampu mencapai kecemerlangan dalam kehidupan." "Karyawan Terjejas: KP Ketuai Pasukan Sukarelawan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHulu Langat, Selangor \u2013 YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada hari ini mengetuai Pasukan Sukarelawan DBP dengan mengadakan lawatan ke rumah karyawan yang terjejas di kawasan Hulu Langat ekoran banjir terburuk yang melanda negara. Beliau turun padang untuk menyantuni karyawan terbabit bersama-sama Ketua-ketua Bahagian dan pasukan sukarelawan untuk sama-sama bergotong-royong membersihkan kawasan tersebut selain menyerahkan sumbangan kepada karyawan terbabit.\nUsaha ini bukan sahaja dapat membantu meringankan beban yang terpaksa ditanggung, malah sekurang-kurangnya dapat meringankan beban emosi yang ditanggung oleh karyawan yang terlibat susulan musibah yang melanda. Lebih-lebih lagi, ada dalam kalangan karyawan DBP yang diduga dengan kemusnahan harta benda sekelip mata sehingga terpaksa menanggung kerugian besar.\nKaryawan DBP yang berkelapangan turut serta bagi menghulurkan bantuan dan dapat merasai sendiri pengalaman berada di kawasan berkenaan, selain turut menghulurkan sumbangan peribadi masing-masing. Meneliti situasi di kawasan terbabit, keadaan yang terjejas menyebabkan mangsa turut mengalami trauma.\nKaryawan yang menjadi mangsa banjir perlu dibantu dari sudut fizikal dan emosi kerana berada dalam keadaan kurang bermaya dan semangat mereka perlu dipulihkan dengan secepat yang mungkin. Walau bagaimanapun, misi sukarelawan yang dilakukan masih lagi tertakluk pada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan agar keadaan terkawal tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.\nTambah beliau, pasukan sukarelawan masih perlu merujuk pihak polis, bomba, Pejabat Daerah serta Majlis Keselamatan Negara agar usaha yang dijalankan dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Beliau juga turut berharap agar mangsa banjir tidak berputus asa dan semua pihak akan terus berusaha membantu sedaya yang termampu agar musibah yang melanda dapat ditangani dengan pelaksanaan kaedah terbaik.\nPada masa yang sama, beliau menasihati agar seluruh mangsa dapat bertenang dan tidak akan menyerah kalah serta berharap agar pihak majikan juga dapat memahami situasi ini dengan bertindak secara rasional supaya mangsa banjir dapat dipulihkan trauma mereka secara berperingkat.\nKegigihan dan usaha terpuji pasukan sukarelawan yang ditubuhkan serta-merta, iaitu bukan sahaja di DBP namun di seluruh kawasan terjejas melambangkan keprihatinan rakyat Malaysia dalam usaha membantu mangsa yang terlibat dengan musibah banjir." "DBP Terima Anugerah Juara Integriti dan Antirasuah 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nAlor Gajah \u2012 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerima anugerah Juara Integriti dan Antirasuah 2021 bagi kategori agensi awam persekutuan dalam Majlis Apresiasi Juara Antirasuah (MAJAR) bersempena dengan Kolokium Integriti dan Antirasuah 2021, pagi ini. Kolokium yang berlangsung selama dua hari bermula pada 23 hingga 24 Disember 2021 di Dewan CREaTE, Alor Gajah ini dianjurkan oleh Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO).\nMenurut Presiden ACeIO, Tuan Ahmad Sabri Mohamed, \u201cAnugerah ini diberikan khusus kepada pertubuhan, persatuan, agensi, institusi serta individu yang berjaya menunjukkan komitmen dan inisiatif dalam usaha membudayakan serta mengangkat integriti dan memerangi amalan rasuah.\u201d\nPada majlis tersebut, sebanyak 14 pihak yang menerima anugerah Juara Integriti dan Antirasuah 2021 mengikut kategori yang berbeza-beza, iaitu Persatuan Penguatkuasa PBT Negeri Johor (kategori persatuan/pertubuhan); Universiti Perguruan Sultan Idris (kategori institusi pendidikan tinggi); Kementerian Pembangunan Luar Bandar (kategori kementerian); Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dan DBP (kategori agensi awam persekutuan); Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Melaka, Pejabat SUK Negeri Sembilan, Pejabat SUK Kedah dan Pejabat SUK Johor (kategori SUK); Jabatan Agama Islam Negeri Melaka (kategori agensi negeri); Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Dungun dan Majlis Perbandaran Segamat (kategori Pihak Berkuasa Tempatan); serta Majlis Perbandaran Kluang yang menerima Anugerah Khas MAJAR 2021.\nJarang-jarang kita jumpa agensi yang boleh melahirkan warga kerja yang membudayakan integriti dan menolak rasuah. Pada tahun 2019, Majlis Perbandaran Kluang berjaya melahirkan lebih daripada 20 orang Juara Antirasuah yang penuh integriti dengan menolak sebarang bentuk pemberian dan rasuah. Hal yang demikian tidak terhenti di situ malah ada kesinambungannya. Kita dapat lihat hasilnya pada tahun ini apabila Majlis Perbandaran Kluang sekali lagi menunjukkan kecemerlangan dengan melahirkan 17 orang Juara Antirasuah.\n\u201cBersama-samalah kita menjayakan pembudayaan dan pengukuhan integriti dalam kalangan Keluarga Malaysia. \nKetika penyampaian Anugerah Khas MAJAR 2021, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang, Puan Norliyati Md Nor berkata, \u201cDengan penyampaian anugerah ini, diharapkan pada masa akan datang lebih ramai yang menerima anugerah sebegini dan menjadi juara integriti dan antirasuah. Pembudayaan amalan integriti tidak seharusnya terhenti setakat hari ini sahaja, ajaklah lebih banyak orang untuk bersama-sama mengamalkan integriti, bersikap telus serta menolak sebarang unsur rasuah dalam kehidupan sehari-harian.\u201d" "Koridor Pengetahuan ICT HUAWEI Malaysia Dilancarkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nCYBERJAYA \u2013 Koridor Pengetahuan ICT (Huawei Malaysia) telah dilancarkan secara rasmi oleh YB Senator Dato\u2019 Dr. Mah Hang Soon Timbalan Menteri Pendidikan I, bertempat di Cyberjaya pada hari ini, sebagai sebahagian daripada sambutan untuk memperingati ulang tahun ke-20 syarikat gergasi tekonologi maklumat dan komunikasi (ICT) global itu di Malaysia. Koridor Pengetahuan ICT direka bentuk sebagai Hab Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) bagi membolehkan rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda untuk memahami jejak industri ICT.\nKoridor tersebut bertujuan untuk mencapai sasaran yang lebih luas, iaitu merangkumi pelajar sekolah rendah dan menengah, pelajar di institusi pengajian tinggi, guru, agensi kerajaan serta orang awam di Malaysia, selain untuk memperkenalkan mereka kepada sejarah pembangunan industri ICT dan sumbangan Huawei Malaysia kepada aspek pendigitalan negara dan pembangunan bakat.\nTurut hadir dalam majlis itu ialah, Encik Zac Chow, Naib Presiden Kumpulan Perniagaan Rangkaian Huawei Malaysia. Semasa menyampaikan ucap utama pelancaran, Timbalan Menteri Pendidikan I berkata, peralihan pantas ke arah teknologi digital akibat COVID-19 telah mengubah sepenuhnya cara hidup manusia dan akan terus menjejaskan komuniti global dan daya saing antarabangsa melalui cara yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Beliau menegaskan bahawa inisiatif perlu diambil untuk membuktikan masa depan seseorang itu dengan pengetahuan yang betul dan set kemahiran yang relevan untuk terus berada di hadapan.\n\nIdea bahawa teknologi digital akan menjadi tunjang ekonomi mampu merangsang tindak balas yang luar biasa terhadap cabaran dan memupuk inovasi untuk merangsang pertumbuhan pada tahun-tahun akan datang. Oleh itu, penubuhan koridor ini merupakan satu daripada langkah-langkah yang diambil untuk memastikan generasi muda dapat membiasakan diri mereka dengan ICT dalam usaha untuk membentuk mereka menguasai ekonomi digital Malaysia.\nYB Datuk Dr. Mah Hang Soon percaya koridor itu akan menjadi manifestasi inovasi dan pembangunan teknologi Malaysia yang akan membantu generasi muda membiasakan diri dengan peralatan digital sekali gus menguasai kemahiran tersebut. Tambah beliau, kerjasama antara sektor awam dengan swasta amat digalakkan untuk melaksanakan pelan digital strategik dan menghasilkan penyelesaian yang kondusif bagi mempercepat proses inovasi dan mewujudkan ekosistem digital yang berkesan.\n\u201cLangkah-langkah ini boleh membentuk anak muda kita untuk menjadi kompeten pada peringkat tempatan dan global. Dengan itu, saya memuji usaha besar Huawei dalam usaha melancarkan Koridor Pengetahuan ICT serta memacu pembangunan bakat di Malaysia,\u201d ujar YB Datuk Dr. Mah.\nMenurut beliau, program Huawei seperti Seeds for the Future, Huawei Spark Malaysia, Huawei ASEAN Academy dan Huawei ICT Academy hanyalah sebahagian daripada program-programnya yang telah meninggalkan impak yang tinggi dalam memupuk bakat digital di negara ini dan mengukuhkan asas ekonomi digital negara.\nPada majlis yang sama, dalam ucapan alu-aluannya, Encik Chow, Naib Presiden Kumpulan Perniagaan Rangkaian Pembawa Huawei Malaysia, berkata beliau berharap Koridor Pengetahuan ICT Huawei akan menjadi jambatan antara pemahaman dengan inovasi. \u201cKami berharap hal ini dapat menyemarakkan minda, mencabar kreativiti dan diharapkan dapat membantu membentuk generasi bakat digital pada masa kan datang.\nBagi beliau, Koridor Pengetahuan ICT akan menjadi platform pendidikan dan perkongsian pengetahuan yang berkesan yang memupuk dan memperkaya pembangunan bakat di negara ini. \u201cHuawei percaya dalam memupuk bakat digital, kita mesti memupuk bakat digital yang mencukupi untuk meraih faedah ekonomi digital dan kami berharap Koridor Pengetahuan ICT ini bersama-sama program kami yang lain dapat membantu memupuk ekosistem bakat ICT di negara ini,\u201d akhiri beliau.\nAntara pameran semasa acara tersebut :-" "Permulaan Sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022 Ditangguhkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPUTRAJAYA- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa tarikh permulaan sesi persekolahan bagi Penggal 3, 2021/2022 ditangguhkan selama seminggu. Oleh hal yang demikian, tarikh baharu bagi sesi persekolahan Penggal 3, 2021/2022 akan bermula pada 9 Januari 2022 bagi sekolah Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan pada 10 Januari 2022 bagi sekolah Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya).\nKeputusan KPM tersebut dibuat berdasarkan penelitian terhadap kesan banjir besar yang melanda negara baru-baru ini. Sehingga 24 Disember 2021, terdapat 475 buah institusi pendidikan di seluruh negara dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, KPM sentiasa prihatin akan kesukaran yang dihadapi oleh semua pihak termasuk pengurusan sekolah, guru, murid dan ibu bapa yang terkesan akibat banjir.\nOleh sebab itu, ketetapan penangguhan ini melibatkan semua institusi pendidikan bawah KPM dan semua sekolah swasta yang melaksanakan kurikulum kebangsaan. Manakala, operasi bagi sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat disarankan mengikut kalendar persekolahan masing-masing. Bagi tadika yang berdaftar bawah KPM pula dibenarkan beroperasi mulai 2 Januari 2022 bagi negeri Kumpulan A dan 3 Januari 2022 bagi negeri Kumpulan B. Institusi pendidikan bawah KPM yang dinyatakan tersebut merujuk pada sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru.\nPada masa yang sama, KPM turut menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM." "17 Wira Penguatkuasaan Tolak Sogokan Mewah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\nAlor Gajah \u2013 Bertepatan dengan tema \u201cJuara Integriti Malaysia\u201d, Majlis Perbandaran Kluang (MPK) pada hari ini menjulang Anugerah Khas Juara Integriti dan Antirasuah 2021 dengan pencapaiannya melahirkan sebanyak 17 orang wira dalam kalangan anggota penguatkuasaan.\nMenurut Presiden ACeIO, Tuan Ahmad Sabri Mohamed dalam Majlis Apresiasi Juara Antirasuah (MAJAR) bersempena dengan Kolokium Integriti dan Antirasuah 2021 pada hari ini, pegawai-pegawai ini diberikan ujian penilaian tanpa pengetahuan mereka dengan pelbagai sogokan berbentuk pemberian jawatan dan pangkat yang tinggi, wang tunai dan banyak lagi, namun sogokan mewah tersebut berjaya ditolak dengan jayanya.\nTuan Ahmad Sabri berkata, pengiktirafan dan penghargaan ini wajar diberikan kepada pejuang dan pengamal integriti serta antirasuah ini. Perkongsian pengalaman integriti dan amalan tadbir urus yang cemerlang ini perlu dijadikan contoh dan ikutan ramai.\nTambah beliau, \u201cKita sebagai satu keluarga Malaysia perlu memainkan peranan dalam usaha memantapkan agenda pembudayaan integriti dan pengukuhan antirasuah. Tujuannya adalah untuk melahirkan pegawai yang bertanggungjawab dalam menguruskan pentadbiran organisasi tidak kira sama ada di sektor awam mahupun swasta, serta NGO (Pertubuhan Bukan Kerajaan).\u201d\nSementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang, Puan Norliyati Md Nor berharap agar pencapaian yang diperoleh ini menjadi pemangkin kepada pegawai-pegawainya serta masyarakat untuk terus berusaha membanteras rasuah demi keamanan dan kesejahteraan negara.\nPembudayaan amalan integriti tidak seharusnya terhenti setakat hari ini sahaja. Kita perlulah bersama-sama mengamalkan integriti, bersikap telus serta menolak sebarang unsur rasuah dalam kehidupan, seterusnya menjadi juara integriti dan antirasuah di negara ini." "Pengukuhan Minda untuk Jati Diri Bangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Walaupun Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang dianjurkan oleh Jabatan Perdana Menteri, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka serta Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Kebangsaan Malaysia sudahpun berlalu beberapa minggu yang lalu, kobar dan semangat berkaitan dengan isu bahasa kebangsaan sentiasa mendapat tempat yang tidak bermusim di dada dan jendela media tempatan.\nPada hari ini, masih lagi menyala api dari satu zaman yang juga telah dipilih sebagai tema bersempena dengan sambutan hari ulang tahun DBP ke-66. Semarak bahasa dalam diri panel yang dipilih oleh penerbit BERNAMA Radio, iaitu Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Pakar Psikologi Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia ini terus sahaja membara dan menjanakan kuasa bahasa dengan begitu aktif sekali. Menerusi perkongsian dalam slot KARTINI yang bertajuk \u201cKepentingan Psikologi Bahasa dengan Jati Diri Bangsa\u201d yang dikendalikan oleh penyampai Ziana Nasir dan Hanie Hamid, penampilan Dr. Jessica sebagai ikon bahasa sememangnya amat tepat.\nDalam perkongsiannya Dr. Jessica menjelaskan bahawa kesamaan inti pati minda yang dibangunkan oleh bahasa kebangsaan kepada generasi Keluarga Malaysia amat penting dalam membina jati diri bangsa Malaysia secara menyeluruh. Berdasarkan kajian beliau, inti pati minda ini merupakan bukti kesinambungan memori diri oleh setiap diri individu yang menjadi bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan etnik.\nMemori diri yang berpusat kepada jati diri bangsa Malaysia yang berteraskan bahasa kebangsaan akan menjelmakan pula jati diri dari segi bahasa lakuan dan juga unsur dalaman seseorang bangsa Malaysia. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan inilah yang menjadi teras dalam membina inti pati minda bangsa Malaysia untuk mengukuhkan jati diri bangsanya.\nBahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia mestilah didaulatkan oleh seluruh Keluarga Malaysia tidak kira apa-apa pun latar belakang kerana hal ini membuktikan citra penghormatan tertinggi Keluarga Malaysia kepada Rukun Negara. Mendaulatkan bahasa kebangsaan ini tegasnya lagi adalah cerminan lahiriyah jati diri bangsa Malaysia.\nMenurutnya lagi, pembelajaran terhadap kepatuhan kepada Rukun Negara juga merupakan paksi pembinaan pati minda rakyat Malaysia sejak mereka kecil lagi. Pemupukan semangat cinta akan Rukun Negara akan dapat direalisasikan apabila Keluarga Malaysia khususnya guru-guru memainkan peranan dengan lebih kreatif terhadap anak murid.\nTambahnya lagi, pendekatan daripada industri kreatif amat perlu bagi memastikan kelestarian usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Permintaan terhadap pembelajaran bahasa Melayu di luar negara ketika ini telah berkembang dengan pesat seperti yang berlaku di China dan di negara-negara lain juga.\nApabila kita di dalam negara tidak mengambil perhatian terhadap perkembangan ini malah memperkecilkan usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan, maka sudah pasti kita akan berdepan dengan lebih banyak halangan berbanding dengan kejayaan. Bahasa Melayu juga mempunyai impak ekonomi di dalam negara ini.\nBeliau menyeru semua pihak agar mempunyai iltizam yang teguh untuk mengukuhkan minda dengan berteraskan bahasa Melayu dan citra sastera serta budaya tempatan. Sudah pasti hasrat menjelmakan citra budaya bangsa Malaysia yang unik ini akan dapat dilakukan.\nMenerusi industri kreatif juga Anugerah Telenovela ialah satu daripada penganjuran anugerah berprestij yang mengiktiraf pengkaryaan dalam bahasa kebangsaan yang diadaptasikan kepada medium baharu. Sudah tentu usaha ini akan dapat menyemarakkan lagi penghargaan kepada bahasa Melayu dalam bidang industri kreatif. Menerusi penganjuran yang berpotensi diangkat ke peringkat antarabangsa, Malaysia akan dilihat sebagai perintis dalam menghargai karya-karya daripada buku yang menggunakan bahasa lain." "Raja Puan Muda Perlis Sokong Martabatkan Keusahawanan Wanita\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Perlis \u2013 Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menyatakan kegembiraan baginda melihat usahawan wanita terus berusaha memperbaiki diri dengan menuntut ilmu keusahawanan. Selain itu, banyak yang turut berjaya membantu wanita lain menjana pendapatan. Semangat, motivasi dan dorongan rakan-rakan, keluarga, terutamanya suami dan anak-anak menjadikan golongan wanita terus kuat dan kental dalam perniagaan.\n\nDalam mengharungi cabaran COVID-19, usahawan wanita juga tidak mudah berputus asa meneruskan kehidupan. Ada dalam kalangan wanita yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dan ada juga yang menggunakan media sosial sebagai medium pengganti kedai dan gerai mereka. Wanita juga perlu bergerak seiring dengan peredaran masa. Bahkan, kebanyakan pelanggan semakin memilih menjalankan urusan jual beli secara dalam talian berbanding secara fizikal. Seiring arus permodenan dan perkembangan teknologi terkini, golongan wanita tidak lagi bersifat inklusif dan semakin berdikari.\nDemikian titah Tuanku Hajah Lailatul Shahreen ketika berkenan mencemar duli menyempurnakan penutupan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), iaitu Women In Search of Excellence (WISE) \u2013 Women In Entrepreneurship, anjuran Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dengan kerjasama YTF pada petang semalam.\nBaginda juga berharap supaya penglibatan wanita dalam aktiviti keusahawanan dapat mengubah stereotaip terhadap golongan wanita sekali gus mengangkat martabat wanita di mata dunia. Semoga usahawan wanita di luar sana terus maju, cekal, berdaya saing serta sentiasa dilindungi oleh Allah SWT.\nAntara panelis undangan termasuklah Perunding dan Pemilik Principal Peta Academy (PETA), Marlizaton Omar sebagai penyampai ucaptama bertajuk \u201cPemerkasaan Wanita Melalui Keusahawanan\u201d. Seterusnya disusuli slot webinar pertama dengan topik \u201cIntelek Wanita: Profesionalisme dan Keusahawanan\u201d oleh Dr. Mashitah Mad Salim (MS Agroz) dan Adibah Abdul Bari (Trulooks) serta slot webinar kedua, iaitu \u201cPeranan dan Cabaran Dalam Perniagaan Dari Perspektif Usahawan Wanita\u201d oleh Mastinah Mohd Sanim (Azam Motor Banting) dan Leny Adam (Asianic Halal)." "Menelusuri Cabaran Ahli Akademik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nManusia perlu mempelajari sesuatu perkara yang ingin diketahuinya. Maka itu, kehidupan manusia tidak sunyi daripada pencarian ilmu. Ilmu yang diperoleh merupakan bekalan penting untuk meneruskan kehidupan. Menerusi ilmu, manusia mampu melakukan sesuatu yang membawa kesejahteraan hidupnya.\nMenuntut ilmu mestilah dilakukan supaya kehidupan manusia membawa makna kepada diri sendiri, masyarakat dan negara.\nTahap menuntut ilmu perlulah setinggi yang mungkin dan hal ini boleh menjadi kenyataan dengan adanya institusi pengajian tinggi dan organisasi pengajian lepasan sekolah. Institusi sebegini berkembang dengan pesat seiring dengan permintaan untuk menuntut ilmu pada peringkat tertinggi. Jika di sekolah, penyampai ilmu dipanggil guru, di universiti pula golongan ini disebut sebagai ahli akademik atau pensyarah.\nPeranan utama ahli akademik adalah untuk mengajar pelajar universiti dengan cabaran dan keunikannya yang tersendiri. Aspek yang diajar perulah berasaskan keperluan semasa dan futuristik negara yang juga mengambil kira kepentingan, kerelevanan dan aplikasinya pada peringkat global.\nHal ini untuk memastikan ilmu yang disampaikan sentiasa mengikut perkembangan zaman dan merentas benua. Aspek ini perlu dipaparkan dalam kurikulum pengajian bidang yang diajar di semua fakulti di universiti. Paparan sebegini sudah semestinya diikuti dengan keseriusan untuk melaksanakannya. Kecenderungan ini dilihat dalam konteks kedinamikan ilmu, terutamanya pada era perolehan maklumat tanpa sempadan dan batasan secara dalam talian. Kedinamikan ilmu ini seharusnya menjurus kepada kesungguhan menikmati dan menyokong penuh pembelajaran sepanjang hayat oleh semua pihak termasuklah ibu bapa, masyarakat, guru dan ahli akademik, serta perlu dijadikan sebagai budaya kehidupan.\n\nIlmu yang dipelajari semasa ahli akademik menuntut pengajian kedoktoran falsafah pada suatu ketika dahulu boleh menjadi kurang terkini kerana penemuan baharu dalam ilmu dan bidang kepakaran, iaitu selari dengan sifat ilmu itu sendiri yang terus berkembang dengan fakta yang terkini. Oleh hal yang demikian, ahli akademik perlu membuat semakan literatur untuk mengesan kelompangan dalam sesuatu ilmu tentang sesuatu perkara yang membawa kepada tindakan perolehan pengetahuan dan fakta terbaharu agar ilmu dan kepakarannya sentiasa terkini.\nJurnal yang diterbitkan menjadi sumber yang sangat berfaedah sebagai bahan kompilasi penerokaan dan penemuan ilmu semasa yang melengkapkan ahli akademik dengan pengetahuan semasa. Sebagai contoh, seorang ahli akademik dalam bidang bakteriologi, jika kurang mengikuti perkembangan penyelidikan genetik molekul bidang kepakarannya akan terkejut dengan nama baharu bagi sesuatu bakteria yang diketahui melalui pelajar yang menegurnya semasa kuliah kerana beliau masih lagi menggunakan nama lama bakteria tersebut\nIlmu berkembang kerana adanya aktiviti penyelidikan yang meneroka kejadian alam dan urusan kehidupan yang memberikan nilai tambah kepada ilmu. Oleh sebab itu, ahli akademik di universiti perlu menjalankan penyelidikan kerana dapatan penyelidikan akan sentiasa menyegarkan sesuatu ilmu dengan maklumat terbaharu supaya aplikasinya terus relevan mengikut perkembangan semasa. Ilmu yang sentiasa disegarkan dengan maklumat baharu melalui mencambahkan idea, kreativiti dan penjanaan pemikiran yang aktif akan menjurus kepada penyelidikan yang berterusan kerana sifat ilmu itu yang tiada penghujungnya.\nSesiapa yang lebih pantas dalam pencarian ilmu atau seiring dengan perkembangan ilmu, sebenarnya menjaga dirinya supaya terus bernilai dan relevan dengan ilmu yang mengikut zaman yang dilalui dan keberadaannya sekarang.\n\nSeseorang ahli akademik perlu sentiasa mendahului pelajarnya dalam ilmu yang terkini. Ledakan maklumat secara dalam talian yang sangat pantas dan tanpa batasan menyebabkan harapan ini mungkin tidak kesampaian.\nAhli akademik bukan hanya berperanan sebagai penyampai ilmu malah juga perlu menjalankan penyelidikan, memberikan perkhidmatan seperti perkhidmatan makmal diagnosis, penglibatan dalam aktiviti kesejahteraan masyarakat, menjalankan perundingan, dan tidak kurang juga yang menjalankan tugas pentadbiran.\nSetiap ahli akademik, terutamanya yang senior, perlu menghayati kemajuan zaman yang sedang dilaluinya sepantas dengan pensyarah generasi muda, terutamanya ilmu yang lebih jauh ke hadapan berbanding dengan ilmu yang diperoleh pada zaman sebelumnya. Namun begitu, seseorang ahli akademik senior masih sangat penting kerana keselarian nilai pengalaman dan kemahiran dengan usianya, yang sudah tentunya boleh menjadi sumber perkongsian yang berguna kepada ahli akademik muda dan pelajar yang sedang bertunas dalam sesuatu bidang ilmu.\nLedakan dan mudahnya mendapat maklumat pada era ini, menyebabkan pelajar lebih mengetahui sesuatu maklumat berbanding dengan ahli akademik. Namun begitu, apa-apa yang diketahui oleh pelajar mungkin bukan pada peringkat penguasaan ilmu. Penerapan asas ilmu tersebut belum cukup kukuh tanpa penyampaian oleh ahli akademik. Walau bagaimanapun, ilmu yang disampaikan secara maya boleh sahaja menyebabkan keperluan penyampaian oleh ahli akademik secara bersemuka, berstruktur dan berjadual mungkin tidak lagi menjadi amalan biasa pada masa akan datang. Malah interaksi dengan ahli akademik di luar waktu kuliah, secara dalam talian, pada bila-bila masa boleh menjadi kebiasaan dalam budaya menuntut ilmu.\nApabila maklumat ilmu meledak dengan begitu pantas, pendekatan perkongsian bersama-sama ilmu antara pelajar dengan ahli akademik atau sesama pelajar dan pensyarah boleh dibudayakan. Perkongsian ilmu bolehlah diketengahkan melalui pembentangan secara sukarela dengan impak kenikmatan dan keseronokan berbuat demikian, bukan hanya oleh ahli akademik bersama-sama pelajar, malah dalam kalangan pelajar melalui ruang dan peluang yang dirancang. Inilah yang dikenali sebagai persekitaran intelektual yang perlu terus dihidupkan dan sentiasa disemarakkan di institusi pengajian tinggi.\nDalam konteks kepentingan aplikasi ilmu yang diajar, ahli akademik boleh memberikan kesedaran kepada pelajar bahawa tanpa mengetahui ilmu yang dipelajari sebelumnya, pelajar tidak mungkin dapat memahami dan menguasai disiplin ilmu lain yang mempunyai pertalian dengan pembelajaran pada hari ini. Sebagai contoh, dalam pengajian perubatan veterinar, jika pelajar memahami ilmu anatomi berkaitan dengan sistem saraf pada awal tahun pengajian, apabila mereka melakukan latihan pembedahan (surgeri) pada akhir tahun pembelajaran, kecacatan atau kematian pesakit dapat dielakkan kerana pelajar tidak memotong saraf penting, sebaliknya mereka menjalankan pembedahan mengikut prosedur kerana telah menghayati ilmu anatomi pada awal tahun pengajian mereka.\nNamun begitu, bagi pelajar yang pintar kerana mendapat pendedahan terhadap kemahiran memproses maklumat dan kemampuan berfikir aras tinggi, mereka akan mencetuskan cabaran akademik yang perlu diberikan perhatian oleh ahli akademik. Hal ini membawa maksud seseorang ahli akademik tidak boleh lesu dengan pemikiran dan tindakan yang sudah ketinggalan zaman dalam penyaluran ilmu dari segi kandungan serta cara serta keberkesanan penyampaian pengajaran.\nEkoran daripada budaya berfikiran kritis yang mula diterapkan semenjak di bangku sekolah, suasana mengajar dan pembelajaran seperti pertanyaan daripada pelajar, akan menjadi lebih interaktif dan mencabar kemampuan pengetahuan dan kemahiran seseorang ahli akademik. Maka itu, keberanian dan kesungguhan untuk mencipta dan mencuba inovasi baharu dalam pengajaran dan pembelajaran seperti kursus secara dalam talian padat, iaitu Massive Open Online Courses (MOOC), penyampaian kuliah yang tidak statik dengan menggunakan animasi yang menarik dan interaktif, serta penyelidikan yang membawa kepada inovasi baharu dalam pengajaran dan pembelajaran perlulah dibudayakan.\nPada hari ini, penekanan kepada kemampuan berfikir aras tinggi dalam kalangan pelajar sekolah dicerminkan melalui kurikulum pengajian sedemikian rupa yang sudah pun bermula dengan rancaknya. Hal ini bermakna generasi universiti akan agak pastinya akan berbeza dari segi cara memberikan respons kepada kandungan serta penyampaian kuliah. Pelajar datang daripada pelbagai latar belakang \u2013 sekolah bestari, berasrama penuh, sekolah elit dan sekolah harian biasa yang sudah diterapkan dengan keperluan dan budaya berfikir serta kepentingan aplikasi dan bukan sekadar memahami ilmu yang disampaikan.\nTambahan pula, pendekatan ibu bapa yang bertanggungjawab dan berpelajaran dari segi menjana dan mengasah bakat anak berfikir dengan galakan pembacaan tambahan dan sokongan yang berterusan juga akan mempengaruhi corak kualiti interaksi pembelajaran di universiti.\nKita perlu bayangkan dari sekarang bagaimana suasana di dalam kuliah kelak yang dijangka akan dipenuhi dengan pertanyaan yang mencabar wibawa dan pengetahuan seseorang ahli akademik.\nApakah respons sedemikian akan menyebabkan ahli akademik mudah melenting atau menolak dengan bulat-bulat pertanyaan pelajar walaupun persoalan yang dibangkitkan rasional dan boleh dibawa kepada penjanaan keintelektualan yang lebih jauh dan signifikan?\nApakah ahli akademik akan bergembira dan secara positif menyambut pertanyaan sedemikian daripada pelajar mereka dan meletakkannya sebagai peluang untuk menambahkan kandungan kuliah serta kualiti penjanaan pemikiran dengan perbincangan lanjutan terhadap sesuatu topik dengan lebih berisi dan berkesan?\nApakan ahli akademik akan mula melabel pelajar berkenaan kerana berasa dicabar serta berbual buruk tentang pelajar yang terlibat?\nApakah pertanyaan ini akan disambut dengan gembira dan penuh kesabaran, serta kesarjanaan oleh ahli akademik kerana perkembangan tersebut membawa petanda kematangan berfikir pelajar walaupun mencabar kematangan dan kedalaman ilmu ahli akademik?\nAda fakulti yang mungkin sudah melalui perubahan suasana akademik di dewan kuliah dan semasa amali, terutamanya apabila komposisi pelajarnya terdiri daripada pelajar dari luar negara \u2013 interaksi melalui pertanyaan yang bertalu-talu yang sangat aktif dan menarik yang sudah menjadi kebiasaan baginya di negara asal mereka. Pertanyaan semasa pembelajaran sebegini merupakan sesuatu yang sangat biasa bagi mereka dan apabila mengikuti pengajian di Malaysia, apakah ahli akademik perlu beradaptasi dengan mereka mengikut arus perkembangan akademik yang mengambil berat tentang pemikiran aras tinggi?\nMaka itu, ahli akademik perlulah menghadapi suasana ini dengan penuh beretika, profesional, sabar dan kesarjanaan dengan ilmu mendidik yang berbagai dalam satu pakej persiapan yang holistik yang mengambil kira situasi yang sedang dan akan ditempuhi dengan cabaran yang lebih meluas nanti.\nPakej yang dimaksudkan termasuklah ilmu pedagogi, kebijaksanaan emosi, pengurusan stres, persiapan menghadapi pelajar antarabangsa yang berbagai budaya dan latar belakang, ilmu bahasa badan, pengurusan konflik, asas kaunseling, ilmu karisma, penguasaan bahasa ilmu terutamanya bahasa Inggeris untuk membina kecekapan dalam penyampaian dan penulisan, persiapan ketahanan mental dan kekuatan kerohanian selain ilmu dalam bidang kepakaran masing-masing.\nPembinaan dan pengasahan bakat ini perlulah berterusan mengikut perkembangan semasa dan dijalankan dengan strategik. Bagi ahli akademik muda, kemasukan baharu khususnya kursus induksi yang dijalankan perlu mengambil kira pakej yang memberikan manfaat mengikut keperluan dan cabaran semasa dan juga yang memberikan tumpuan terhadap persiapan untuk menempuh cabaran masa hadapan yang boleh dijangkakan mengikut perubahan zaman.\nAhli akademik akan lebih disegani dan dihormati sekiranya mereka bukan hanya bertindak sebagai penyampai ilmu. Perasaan ini boleh berlaku apabila ahli akademik menjalankan kewajipannya dengan penuh karisma. Oleh itu, ahli akademik boleh dikategorikan kepada tiga kategori iaitu, mereka yang mengajar semata-mata untuk menyampaikan ilmu kerana sukatan silibus dan masa yang diperuntukkan; \u00a0ahli akademik yang berusaha untuk menerangkan ilmu yang disampaikannya; dan ahli akademik yang sentiasa memastikan ilmu yang disampaikan difahami dengan sebaik-baiknya oleh pelajar. Ada juga ahli akademik yang juga memotivasikan, menjadi mentor dan memberikan nasihat supaya pelajar bukan hanya berpengetahuan tinggi tetapi mempunyai keperibadian yang mulia dari segi tutur kata, adab berpakaian, ketepatan masa, semangat dan kesungguhan yang diselitkan semasa dan sesudah kuliah.\nDalam hal ini, ahli akademik perlu terlebih dahulu berperibadi mulia yang menjadi cerminan dan contoh kepada pelajarnya dan kepada ahli akademik yang lain. Universiti ialah tempat penjanaan kepakaran dan ilmuwan. Ilmu dan kepakaran tanpa peribadi yang baik umpama lampu yang menyala namun sinarnya tidak kesampaian.\nAhli akademik yang berilmu dan berperibadi mulia ialah pendidik anak bangsa. Maka itu, marilah kita menghayati dan mensyukuri akan hakikat ini dan menjadi ahli pendidik yang terus beretika, penuh kesarjanaan dan berperibadi mulia serta mendukung sepenuhnya Falsafah Pendidikan Negara.\nProfesor Dr. Jasni Sabri, Pensyarah Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan." "Perkahwinan Campur Bukan Trend\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerkahwinan campur dilihat sebagai satu daripada budaya yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Barangkali dari sudut pandangan tertentu, perkahwinan campur dianggap sebagai perkahwinan yang penuh dengan keunikan, lebih-lebih lagi sekiranya hal tersebut bukan sahaja dapat menyatukan dua budaya yang berbeza, malah turut melibatkan agama dan negara yang berbeza.\nDewasa ini, memilih pasangan yang berasal daripada kaum atau negara lain disebabkan mengikut trend seluruh dunia. Menerusi laporan Statistik Perkahwinan dan Perceraian Jabatan Statistik Malaysia, sembilan peratus daripada jumlah perkahwinan pada tahun 2018 membabitkan perkahwinan campur.\nMengikut laporan yang dikeluarkan pada November 2019 itu, daripada 18 509 perkahwinan campur pada tahun 2018 didapati 48.3 peratus ialah masyarakat beragama Islam dan 51.7 peratus membabitkan bukan Islam dalam perkahwinan antara kaum.\nWalau bagaimanapun, individu yang memilih untuk meneruskan perkahwinan campur mempunyai tanggungjawab dan peranan besar dalam menyatukan kedua-dua buah keluarga yang berbeza dari segi agama, budaya dan bangsa.\nSekiranya penyatuan ini gagal, maka gagallah sebuah perkahwinan campur yang semakin menjadi ikutan kebanyakan golongan muda pada hari ini. Perkahwinan dalam semua agama dianggap sebagai ikatan suci yang menyatukan dua buah hati. Oleh itu, untuk mendapatkan kebahagiaan dan keharmonian berpanjangan, pasangan yang berkahwin campur haruslah berpijak pada realiti kehidupan apabila ada ketikanya terdapat perkara yang memerlukan pengorbanan dan penerimaan dengan hari terbuka.\nPenulis sempat menemu bual pasangan kahwin campur, iaitu Muhammad Hariz Ramesh Pillai Abdullah, yang memilih pasangan Melayu sebagai teman hidup sejak tahun 2008. Pilihan atas dasar cinta ini menjadikan Muhammad Hariz cekal berdepan dengan tanggungjawab terutama dalam meniti kehidupan sebagai seorang Islam dan mengadaptasi budaya Melayu dalam kehidupannya. Pada masa yang sama, sebagai seorang adik lelaki bongsu kepada empat kakaknya, Muhammad Hariz juga memainkan peranan demi memastikan silaturahim mereka sentiasa terjalin walaupun berlainan agama, lebih-lebih lagi selepas kehilangan ibu tersayang pada April lalu.\nMuhammad Hariz menjelaskan, dalam usia perkahwinan yang kini mencecah 13 tahun beliau tidak berdepan dengan cabaran dan dugaan berat berikutan kedua-dua pihak memainkan peranan masing-masing dalam penyatuan kedua-dua keluarga. Sebagaimana beliau dapat menyantuni keluarga mentuanya begitulah juga dengan isterinya, Azlin Azmi yang sentiasa menghormati keluarga dan budayanya.\nSaya bersetuju bahawa perkahwinan campur bukan trend semata-mata tetapi perlu sentiasa memainkan peranan besar sepanjang hayat. Memang wujud apabila sebaik-baik sahaja berkahwin, pasangan akan menarik keluar satu daripada ahli keluarga dengan menjauhkannya daripada keluarga kandung.\n\u00e2\u20ac\u0153Cara itu salah sama sekali walaupun atas alasan budaya dan agama yang berbeza. Tidak salah sekiranya kita sebagai orang Islam menghormati agama dan budaya keluarga mentua yang bukan Islam. Dalam Islam sendiri mengharamkan kita untuk memutuskan silaturahim malah diharuskan untuk kita menziarahi keluarga, meraikan perkahwinan dan memberikan penghormatan terakhir dalam upacara kematian.\nBahagia tidak datang bergolek, maka kita perlu mencari dan membina sebuah kebahagiaan dalam perkahwinan walaupun berdepan dengan cabaran dan dugaan hadir bersilih ganti. Pasangan berkahwin campur lebih terdedah kepada cabaran terutamanya dalam menerima gaya hidup dan budaya yang berlainan. Pastinya salah faham boleh tercetus sekiranya pasangan tidak memahami dan mendalami kehidupan asal masing-masing.\nDalam hal ini, mempelajari agama dan budaya pasangan sebelum berkahwin menjadi satu keperluan supaya rasa kekok atau salah faham dapat dielakkan.\nPenerimaan dan keterbukaan terhadap sosiobudaya kedua-dua belah keluarga sememangnya perlu terutamanya dalam soal hormat-menghormati agama yang dianuti. Dalam situasi ini, sikap tolak ansur, memahami dan menyantuni adat dan budaya serta menghormati kepercayaan dan agama masing-masing, wajar dititikberatkan berikutan perkahwinan campur bukan sahaja dapat meluaskan susur galur keluarga dan melahirkan genetik yang baik, malah dapat menyatukan ikatan kedua-dua belah pihak (keluarga) melalui penerapan nilai budaya dalam diri anak-anak selain dapat mempelajari cara hidup dan adat budaya yang berlainan." "Krisis Banjir: 72 Ribu Pelanggan TNB Terima Rebat Bil Elektrik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTenaga Nasional Berhad (TNB) memberi rebat 100 peratus secara sekali beri (one-off) pada bulan Disember kepada 72 ribu pengguna yang terjejas disebabkan bencana banjir.\nKeputusan ini dibuat setelah mendapat pandangan dan pertimbangan Perdana Menteri, sekali gus menunjukkan persetujuan antara kerajaan dalam usaha menyantuni mangsa banjir.\nPerdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pemberian rebat di negeri \u00a0yang terlibat dengan banjir meliputi peruntukan kecemasan sebanyak RM9 juta.\nMenurut \u00a0Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din, baru-baru ini TNB juga telah mengumumkan peruntukan RM40 juta bagi tujuan kerja-kerja pemulihan, di samping RM2 juta lagi dalam bentuk bantuan kewangan melalui Tabung Warga TNB Prihatin (TWTP).\nLangkah sedemikian dapat mempercepatkan usaha penyambungan bekalan elektrik dan menjamin kebajikan semua mangsa yang terlibat. Kini, lebih daripada 30 peratus daripada 2110 aset bekalan elektrik TNB telah berjaya dipulihkan semula.\nSetakat ini, lebih daripada 2000 warga kerja TNB di seluruh semenanjung berusaha memulihkan semula bekalan\u00a0dan membantu mangsa banjir lebih-lebih lagi dalam proses pemulihan aset bekalan TNB,\u00a0termasuklah pencawang elektrik, kabel dan tiang elektrik yang terjejas akibat bencana tersebut." "Jumlah Mangsa Banjir di Lima Buah Negeri Menurun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebanyak 28 005 mangsa banjir daripada 8598 keluarga masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima negeri pada pagi ini berbanding dengan 33 193 mangsa malam tadi.\nMenurut aplikasi InfoBencana JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), kesemua mereka ditempatkan di 233 PPS di Kelantan, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.\nJumlah mangsa di Kelantan mencatatkan penurunan dengan 378 orang daripada 127 keluarga setakat pukul 7.00 pagi ini berbanding dengan 470 orang daripada 153 keluarga semalam, melibatkan dua PPS yang dibuka di Jajahan Pasir Mas, Kelantan.\nPortal rasmi Info Banjir JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya, dan hanya satu sungai berada pada paras waspada, iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas.\nSementara itu, jumlah mangsa di Selangor terus mencatatkan penurunan kepada 11 864 mangsa daripada 3521 keluarga yang ditempatkan di 61 PPS pagi ini, berbanding dengan 15 354 mangsa di 81 PPS malam tadi.\nBerikutan dua kes panggilan untuk memadam kebakaran melibatkan sampah dan perabot yang terjadi di Klang, Jabatan Bomba dan Penyelamat menasihati supaya penduduk tidak membakar sisa buangan banjir mereka.\nDi Pahang pula, sebanyak 16 579 mangsa banjir masih berada di 119 PPS pada pagi ini berbanding dengan semalam, iaitu 17 211 orang.\u00a0 Daerah yang masih terjejas ialah Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.\nManakala, jumlah mangsa banjir di Melaka kekal sebanyak 28 orang daripada lapan keluarga setakat pukul 8.00 pagi ini.\nPengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt. Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, hanya PPS Sekolah Kebangsaan Penghulu Benteng di Jasin dibuka bagi menempatkan mangsa.\nDi Negeri Sembilan, mangsa banjir di negeri itu menunjukkan penurunan kepada 128 individu daripada 37 keluarga berbanding dengan semalam 132 mangsa daripada 38 keluarga. Tiga \u00a0PPS masih dibuka di Jelebu setakat pagi ini." "Warisan Johor Bahru Lahirkan Generasi Cerdas Sejarah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJohor Bahru \u2013\u00a0Pada hari ini, menerusi seminar secara dalam talian, Perpustakaan Sultan Ismail (PSI) Majlis Bandaraya Johor Bahru\u00a0(MBJB) dengan kerjasama Persatuan Sejarah Lisan Malaysia (PSLM) menganjurkan Webinar Warisan Johor Bahru bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Perisytiharan Majlis Bandaraya Johor Bahru ke-28.\nSiri pertama webinar ini diadakan pada hari ini bermula pada pukul 9.30 pagi hingga 1.00 tengah hari. Hampir 100 orang penglibatan peserta daripada pelbagai latar belakang, termasuklah wakil Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, serta individu pencinta sejarah negeri Johor.\nTurut diundang panel pada sesi pertama webinar ini daripada pakar sejarah Johor, iaitu YB Profesor Dr. Haji Kassim Thukiman, Ahli Penasihat Majlis Jumaah Diraja Johor, YBrs. Tuan Haji Kamdi Kamil, Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Johor dan YBrs. Dr. Mardiana Nordin, Pensyarah Jabatan Pengajian Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, manakala Puan Hikmah Hassan, Penolong Pustakawan PPAS merangkap Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Lisan Malaysia merupakan pemudah cara dalam webinar pada hari ini.\nTurut hadir menyampaikan ucapan alu-aluan untuk webinar ini ialah YBhg. Dr. Zahidi Dato\u2019 Zainal Rashid, Pengerusi Persatuan Sejarah Lisan Malaysia. Perasmian webinar ini pula disempurnakan oleh YB Dato\u2019 Haji Mohd. Noorazam Dato\u2019 Haji Osman, Datuk Bandar Johor Bahru.\n.MBJB berhasrat untuk mengekalkan elemen sejarah warisan dan budaya, maka visi MBJB ialah menerapkan perkara ini, iaitu \u2018Bandar Raya Bertaraf Antarabangsa, Berbudaya dan Lestari\u2019.\n\u201cSehubungan dengan itu, usaha-usaha pendidikan, pendedahan dan pengekalan warisan sejarah ini turut ditekankan dalam pelan transformasi bandar raya Johor Bahru dan pelan strategik MBJB.\nTambah YB Dato\u2019 Haji Mohd. Noorazam lagi, \u201c.melalui pengetahuan sejarah, hubungan sesama warga bandar raya akan bertambah harmoni dan kukuh tanpa mengira latar belakang kaum, warna kulit, umur, bahasa dan agama dan sudah pasti, perkongsian kisah-kisah yang termaktub dalam buku sejarah membolehkan kita dapat mempelajari kegemilangan bandar Johor Bahru ini pada suatu waktu dahulu, dan seterusnya menambah semangat kita untuk membawa bandar raya ke puncak persada antarabangsa.\u201d\nWebinar ini memfokuskan warisan sejarah Johor moden yang sehingga hari ini kekal dapat dilihat oleh generasi dan maklumat,\u00a0serta penulisan sejarah yang banyak terdapat di pelbagai pusat rujukan serta sumber perlu didedahkan dan dengan cara demikian kita akan dapat meningkatkan penghayatan umum kepada sejarah khususnya tentang sejarah Johor Bahru.\n\nSesi kedua seminar ini akan dilaksanakan pada 3 Januari 2022. Menurut YM Tengku Tarmizi Tengku Aziz, Pustakawan PSI, program ini merupakan antara aktiviti yang dapat mendekatkan lagi pelbagai lapisan masyarakat dengan PSI. PSI kini sudah pun beroperasi semula dengan kemudahan yang lebih lengkap dan menarik untuk para pengunjung selepas dua tahun ditutup untuk pengunjung kerana proses naik taraf perpustakaan ini.\n\nMengulas lebih lanjut, beliau menyeru kepada seluruh warga bandar raya Johor Bahru supaya sentiasa mengikuti perkembangan aktiviti PSI yang terkini melalui media sosial MBJB dan juga laman web MBJB. Tidak ketinggalan pula kepada para pembaca dan peminat sejarah agar mengikuti webinar berikutnya dan boleh merujuk poster yang disertakan ini.\nUntuk keterangan lanjut, boleh berhubung terus dengan Urus Setia Webinar Warisan Johor Bahru melalui talian 07-239 1795 atau e-mel." "Kaya Tanpa Hutang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKaya bererti kehidupan tanpa hutang.\nSejauh manakah kehidupan tanpa hutang ini boleh digapai sekiranya realiti yang sedang berada di hadapan ialah sebaliknya?\nBerdasarkan kajian yang dilakukan oleh Universiti Malaya (UM), didapati bahawa sebanyak 68 peratus rakyat Malaysia berhutang disebabkan\u00a0oleh\u00a0perbelanjaan yang tidak terkawal sehingga dibelenggu kesempitan hidup dengan nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) cukup tinggi,\u00a0iaitu 80 peratus.\nPengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial UM, Profesor Emeritus Datuk Dr.\u00a0Norma Mansor menyatakan\u00a0bahawa\u00a0laporan kajian yang dikeluarkan pada\u00a0tahun\u00a02019 itu merupakan hasil kaji selidik selama setahun yang mendapati perbelanjaan melebihi jumlah pendapatan membawa kepada masalah hutang.\nSementara itu, mengikut Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2021 Bank Negara Malaysia (BNM) pada September lalu, sebahagian besar peminjam isi rumah mempunyai penampan kewangan yang mencukupi dan kekal berdaya tahan untuk menghadapi sebarang kejutan.\nLaporan itu mendapati bahawa dedahan bank kepada peminjam yang mudah terjejas dianggarkan mencakupi hanya 1.3 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan.\u00a0Keadaan mampan ini terhasil kerana kerajaan menyediakan inisiatif kepada golongan peminjam yang terkesan menerusi pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak negara dilanda COVID-19 pada penghujung tahun 2019.\nBerdasarkan laporan tersebut, pertumbuhan hutang isi rumah secara amnya mampan pada akhir Jun 2021,\u00a0iaitu sebanyak 5.5 peratus berbanding\u00a0dengan\u00a0Disember 2020, 5.5 peratus daripada tempoh sama pada tahun lalu walaupun lebih ramai peminjam menyambung kembali pembayaran pinjaman sejurus tempoh moratorium pinjaman berakhir.\nTambahan pula,\u00a0selepas Jun sehingga Disember 2021, industri semakin rancak menjalankan perniagaan masing-masing,\u00a0bahkan kebanyakan sektor swasta khususnya mula memainkan peranan dengan membuka kembali peluang pekerjaan kepada masyarakat yang terjejas sepanjang PKP lalu.\nNamun\u00a0begitu, dengan kembalinya kerancakan ini bukan alasan untuk bebas mencipta hutang sedangkan hutang yang sedia ada masih berjalan. Kerancakan ekonomi yang sedang subur merupakan tanda baik untuk menguruskan kehidupan masing-masing,\u00a0termasuklah\u00a0melakukan pembayaran hutang tertangguh dan lain-lain.\nSeharusnya, PKP mendidik jiwa setiap individu untuk lebih bijak menguruskan kewangan, yakni jangan sesekali mencipta hutang baharu sekiranya tiada keperluan untuk berbuat begitu.\nHal ini dikatakan demikian kerana walaupun bantuan bayaran balik pinjaman yang disediakan menyokong peminjam untuk membayar balik hutang buat sementara waktu, pemulihan ekonomi lebih mantap tetap menjadi faktor utama dalam pemulihan kekukuhan kewangan peminjam dalam jangka masa lebih panjang.\nOleh itu, pengurusan kewangan sangat penting dalam menjalani kehidupan hari ini supaya sekiranya berlaku sekali lagi perkara yang tidak dijangka, setiap individu dapat menjalani hidup tanpa beban hutang yang tidak sepatutnya." "Tangani Tekanan, Capai Kerjaya Impian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nUngkapan seperti.\n \u201cSaya sayangkan kerjaya saya, tetapi saya tidak mampu menanggung tekanan di tempat kerja\u201d; atau\n\u201cSaya terpaksa berhenti kerja disebabkan oleh timbunan kerja yang saya tidak mampu menggalasinya\u201d \n.selalu menjadi punca terhadap kebanyakan individu untuk berhenti lebih awal dari dunia pekerjaan.\n\nYang lebih malang, kes bunuh diri akibat bebanan tekanan yang tidak tertanggung semakin berleluasa pada hari ini. Dalam laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) beberapa tahun lalu meramalkan bahawa tekanan di tempat kerja boleh menjadi satu daripada punca masalah kesihatan manusia menjelang tahun 2021.\nSementara itu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pada tahun 2018, pernah meletakkan seramai 21\u00a0ribu pekerja bersara awal disebabkan\u00a0oleh\u00a0tekanan di tempa kerja.\nBerlandaskan situasi yang dinyatakan tersebut, perkara utama yang seharusnya menjadi perisai ketahanan individu dalam merancang masa depan dalam kerjaya masing-masing adalah sejauh manakah\u00a0mereka mampu mengatasi masalah sebelum menjadi lebih buruk.\nSetiap individu mempunyai impian dalam membina kerjaya masing-masing. Namun\u00a0begitu, sejauh manakah kerjaya itu mampu dibina dalam situasi yang semakin diselubungi\u00a0dengan\u00a0tekanan?\nPersoalan ini sering kali menjadi penyebab utama kebanyakan individu mudah berputus asa sehingga melupakan impian yang ingin dicapai dalam dunia kerjaya mereka.\nSecara umumnya,\u00a0tekanan atau dalam bahasa Inggerisnya,\u00a0stress\u00a0membawa maksud bimbang (kebimbangan) yang berpunca daripada masalah sehingga mengganggu fikiran. Dalam dunia kerjaya, tekanan sering terjadi apabila seseorang itu gagal menyelesaikan tugasan disebabkan kerja tersebut berada di luar tahap kemampuan diri.\nSehubungan\u00a0dengan\u00a0itu, individu yang mempunyai impian untuk membina kerjaya dalam bidang yang diceburi perlu bijak mengawal emosi dan tekanan,\u00a0berikutan tekanan dan rasa bimbang ini boleh menjadi \u201cpenyakit\u201d\u00a0sekiranya tidak dikawal dalam tempoh yang panjang.\nSetiap individu perlu bijak menjalankan tanggungjawab atau menguruskan beban tugas supaya berpadanan dengan pengetahuan dan kemahirannya.\u00a0Sekiranya tidak, rasa bimbang yang menyebabkan tekanan itu akan mengganggu produktiviti tugasan,\u00a0sekali gus menyebabkan kejayaan yang ingin dicapai dalam membina kerjaya terkubur begitu saja. Apatah lagi, sekiranya tekanan menjadi lebih teruk kerana tidak mendapat sokongan dan dorongan daripada ketua atau rakan sekerja.\n\nDalam membina kerjaya impian, seharusnya langkah demi langkah\u00a0untuk mencapai impian itu perlu diselaraskan supaya apabila berdepan dengan sebarang bentuk masalah, individu tersebut dapat menyelesaikan mengikut peringkat dan pengetahuannya.\nSekiranya tidak, perkara pertama yang akan dihadapi ialah berasa bimbang yang terlampau sehingga menyebabkan tertekan.\u00a0Hal ini perlu diingatkan,\u00a0masalah tekanan di tempat kerja merupakan isu kronik yang sering\u00a0diperkatakan dalam organisasi,\u00a0malah menjadi topik utama dalam forum antarabangsa.\nSebagai pekerja yang terbeban dengan tugasan hakiki, keperluan untuk mengambil tahu tentang cara pengurusan tekanan adalah amat penting.\nTerdapat beberapa strategi yang boleh digunakan untuk membantu mengawal atau mengurangkan tekanan di tempat kerja. Pengurusan tekanan penting untuk membantu individu membina kerjaya dan berada lebih lama dalam bidang yang diceburinya." "Eksport Malaysia Mencecah Dua Trilion\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya\u00a0\u2013\u00a0Hampir\u00a0dua tahun lebih pandemik COVID-19\u00a0melanda\u00a0seantero\u00a0dunia hingga mengakibatkan aktiviti ekonomi merudum. Hari ini, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato\u2019 Sri Dr. Mohd.\u00a0Uzir Mahidin mengumumkan bahawa eksport negara mencatat pertumbuhan sebanyak 32.4 peratus pada November 2021. Trend peningkatan dua digit ini telah dikesan sejak Ogos lalu yang menunjukkan jumlah eksport pada bulan November sebanyak RM 112.2 bilion.\nPeningkatan dalam eksport Malaysia ini disokong oleh aktiviti eksport domestik berjumlah RM93.7 bilion dan eksport semula, RM 18.5 bilion, yakni masing-masing meningkat sebanyak 34.3 peratus dan 23.9 peratus berbanding dengan November 2020.\nPertumbuhan ini dilihat melalui 192 daripada 255 kumpulan barangan untuk eksport walaupun prestasi dari bulan ke bulan dan lebihan dagangan sedikit menurun,\u00a0iaitu pada kadar 1.9 peratus dan 28.1 peratus sejak Mei 2020.\nJabatan Perangkaan Malaysia memaklumkan bahawa dagangan eksport lebih tinggi ke negara,\u00a0seperti Amerika Syarikat (RM 3.3 bilion), China (RM2.9 bilion), Singapura (RM2.6 bilion), Vietnam (RM2.5 bilion), Kesatuan Eropah (RM2.1 bilion), India (RM2.0 bilion), Indonesia (RM1.9 bilion), Jepun (RM1.4 bilion) dan diikuti oleh Republik Korea (RM1.2 bilion) telah menyumbang besar dalam peningkatan eksport negara.\nAntara barangan yang memberikan\u00a0sumbangan besar dalam peningkatan eksport, termasuklah\u00a0barangan elektrik dan\u00a0elektronik (RM5.9 bilion); keluaran petroleum (RM5.1 bilion); minyak kelapa sawit dan\u00a0keluaran pertanian berasakan minyak kelapa sawit (RM3.9 bilion); barangan perkilangan logam (RM2.5 bilion); kimia dan\u00a0bahan kimia (RM2.0 bilion); gas asli cecair (RM1.9 bilion); barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (RM1.3 bilion); jentera, kelengkapan dan\u00a0peralatan (RM1.1 bilion) serta barangan besi dan keluli (RM1.0 bilion).\nSelain peningkatan eksport, Malaysia turut menunjukkan trend kenaikan sebanyak 38 peratus dalam aktiviti import,\u00a0iaitu kepada RM93.3 bilion berbanding dengan November 2020 dan 191 daripada 258 kumpulan merekodkan pertumbuhan positif. Jumlah dagangan dan lebihan dagangan juga meningkat\u00a0dengan jumlah masing-masing, iaitu RM205.5 bilion dan RM18.9 bilion,\u00a0manakala prestasi dari bulan ke bulan import dan jumlah dagangan masing-masing meningkat 5.9 peratus dan 1.5 peratus.\nJika Amerika Syarikat menjadi penyumbang utama dalam aktiviti eksport Malaysia, China pula merupakan penyumbang utama kepada peningkatan import (RM4.9 bilion), diikuti Singapura (RM3.1 bilion), Kesatuan Eropah (RM2.9 bilion), Republik Korea (RM2.5 bilion), Indonesia (RM2.4 bilion), Taiwan (RM2.4 bilion), Thailand (RM1.4 bilion), Vietnam (RM1.3 bilion) dan Amerika Syarikat (RM1.0 bilion).\nKenaikan ini dicatatkan bagi barangan elektrik dan\u00a0elektronik (RM8.5 bilion); keluaran petroleum (RM5.2 bilion); kimia dan bahan kimia (RM2.6 bilion); jentera, kelengkapan dan peralatan (RM1.2 bilion), barangan perkilangan logam (RM986.8 juta) dan barangan besi dan keluli (RM922.2 juta).\nSelari dengan prestasi kukuh, jumlah dagangan berkembang 34.9 peratus kepada RM205.5 bilion berbanding dengan bulan yang sama pada tahun 2020. Hal ini bermakna, buat julung kalinya jumlah dagangan Malaysia mencecah dua trilion, yakni berkembang 24.6 peratus daripada tempoh yang sama pada\u00a0tahun\u00a02020." "Pascabanjir: Penjawat Awam Digerakkan\u00a0sebagai Pasukan Petugas secara Penggiliran\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSeramai hampir 5000 anggota perkhidmatan awam akan digerakkan dalam usaha misi bantuan pascabanjir pada kali ini secara berperingkat dan mengikut penggiliran masing-masing.\nKetua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd.\u00a0Khairul Adib Abd.\u00a0Rahman berkata, inisiatif ini merupakan rentetan daripada kenyataan media oleh Ketua Setiausaha Negara supaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyelaras pembahagian kawasan terjejas banjir kepada kementerian,\u00a0serta menyelaras usaha mobiliti pegawai Perkhidmatan Awam,\u00a0khususnya untuk membantu kerja-kerja pembersihan dan kemanusiaan.\nSelaras dengan keputusan tersebut, pegawai di agensi masing-masing diarahkan membantu melaksanakan tugas-tugas pascabanjir berdasarkan kawasan yang ditetapkan oleh kementerian dan arahan ini berkuat kuasa serta-merta.\nMenurut beliau, inisiatif\u00a0ini dilaksana mengikut kawasan yang terjejas teruk bagi tempoh tertentu bertujuan untuk meringankan beban yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir.\nBerdasarkan surat edaran yang dikeluarkan oleh JPA pada hari ini, pegawai-pegawai yang terlibat dengan arahan mobilisasi dianggap menjalankan tugas rasmi.\nSebelum ini, gerak kerja membantu mangsa-mangsa banjir telah pun dilaksanakan di peringkat kementerian, jabatan dan agensi di kawasan yang terjejas dan perkara ini masih diteruskan, namun usaha kali ini lebih menfokuskan kepada penumpuan yang lebih menyeluruh dan bersasar.\nMobilisasi anggota perkhidmatan awam merupakan inisiatif serta\u00a0tanggungjawab sosial penjawat awam bersama-sama\u00a0rakyat selari dengan semangat \u201cKeluarga Malaysia\u201d." "Bahasa, Sastera, Budaya, dan Patriotisme Teras Jati Diri Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 \u201cApi dari Suatu Zaman\u201d yang terkandung dalam bait-bait lagu Dewan Bahasa, ciptaan Saiful Bahri dan seni kata oleh Sasterawan Negara Usman Awang, sering dinyanyikan oleh para karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Menurut YBhg. Dato\u2019 A. Aziz Deraman, mantan Ketua Pengarah DBP, ungkapan \u201cApi dari Suatu Zaman\u201ddapat dilihat dari dua sudut pandang, iaitu yang berkait rapat dengan isu kenegaraan dan perjuangan gerakan kesedaran sosial demi mendaulatkan bahasa Melayu pada peringkat yang lebih luas.\nTambah beliau, ekoran daripada hal tersebut, kegiatan bahasa dan persuratan tidak terhenti, malah dilihat semakin rancak dengan kemunculan pengarang-pengarang besar yang meniup semangat perjuangan kebangsaan. Selain itu, ada kaitannya dengan kemerdekaan Tanah Melayu yang berjaya meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan akhirnya tertubuhlah DBP. Beliau turut menegaskan bahawa persuratan tidak ditinggalkan dalam perjuangan kebangsaan.\nBeliau turut menyatakan bahawa cabaran DBP adalah berkenaan dengan Dasar Bahasa Kebangsaan (DBK) yang pencapaiannya dilihat masih pada tahap yang tidak memuaskan. Tambahnya, beberapa strategi dalam memartabatkan, memantapkan dan memperkasakan bahasa Melayu, kesusasteraan dan persuratan bangsa dilaksanakan termasuklah melalui ketegasan dan peranan kepimpinan yang peka, sedar dan insaf serta berpegang teguh kepada aspirasi Perkara 152 Perlembagaan.\nSelain itu, perlu ada tindakan pemantapan semula status pemartabatan bahasa Melayu melalui penegasan semula dasar bahasa kebangsaan dengan keazaman atau tekad politik (political will) yang baharu dan seterusnya oleh para pejuang bahasa dan perjuangan tokoh dengan mengikuti beberapa visi dan misi DBP untuk generasi pelapis DBP.\nKita perlu memahami sejarah dan erti sejarah itu tentang penubuhan DBP serta cabaran dan perjuangan kebangsaan untuk memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan.\nSelain itu, pemantapan jati diri ke arah kecintaan terhadap bahasa Melayu dapat ditangani dengan tiga perkara, iaitu bahasa, budaya dan agama. Oleh itu, masyarakat perlu memperteguhkan bahasa, sastera, dan budaya serta patriotisme dalam diri yang merupakan teras kepada jati diri kebangsaan.\nUntuk memusnahkan sesuatu bangsa itu adalah dengan menghilangkan penghayatan sesuatu bangsa itu terhadap agamanya, iaitu iman dan melalui budayanya.\nDemikianlah penerangan menarik daripada YBhg. Dato\u2019 A. Aziz Deraman dalam program Syarahan Bicara Tokoh yang berjudul \u201cDBP: Api dari Suatu Zaman\u201d anjuran Akademi DBP, yang diadakan pada pukul 2.30 petang di Dewan Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Aras 6, Wisma DBP. Moderator program ialah YBrs. Dr. Syaidul Azam Kamarudin.\nMajlis yang berlangsung selama hampir tiga jam itu turut dihadiri oleh YBrs. Dr. Abang Patdeli Abang Muhi (Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP), YBhg. Datuk Dr. Firdaus Abdullah (Mantan Ketua Pengarah DBP), YBrs. Dr. Haji Santrol Abdullah (Ketua Akademi DBP), Encik Azhar Mohamad Dora (Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik) dan karyawan DBP." "PRESBAH Pengukuh Jalinan Etnik ke Arah Perpaduan Nasional\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Berdasarkan perkongsian daripada YBrs. Prof. Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad, Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, juga berasal dari Sabah, merantau adalah kata yang begitu sinonim dengan masyarakat rumpun Melayu.\nTidak kira di mana sahaja asal mereka, sifat semula jadi yang ada pada manusia rumpun Melayu gemar merantau dan menimba pengalaman di tempat yang lebih jauh dari kampung halaman, namun masih menjaga dan mengekalkan jati diri etnik yang diwarisi. Malah mereka memiliki semangat yang teguh cintakan perpaduan dan mempunyai nasionalisme yang tinggi.\nDemikian juga yang ada pada etnik masyarakat Sabah di Semenanjung Malaysia. Walaupun mereka merantau untuk menimba ilmu tidak kiralah dalam sektor apa-apapun, semangat cintakan kepada warisan tetap tersemai dalam diri.\u00a0 Hal inilah yang menjadi kekuatan pada ikatan etnik Sabah, yakni warisan bangsa tidak dapat dipisahkan dengan diri mereka walau di mana-mana sahaja mereka berada.\nBencana banjir yang berlaku baru-baru ini menjadi titik permuafakatan Pertubuhan Rumpun Etnik Sabah (PRESBAH) untuk berkumpul dan bertemu semula dengan seluruh ahli, ahli bersekutu serta yang masih belum menjadi ahli, agar melalui pertemuan yang diadakan ini, masyarakat Sabah yang berada di Semenanjung Malaysia akan lebih mengenali pertubuhan bukan kerajaan ini dan amat dialu-alukan penyertaan mereka menyertai pertubuhan ini.\nBertarikh 25 Disember 2021 yang lalu di Restoran Gegawai Prima Saujana, Kajang, Selangor telah diadakan majlis pelancaran PRESBAH Zon Semenanjung yang dirasmikan oleh YBrs. Tuan Haji Yahya Haji Ahmad, Presiden PRESBAH.\nRakyat Sabah yang tinggal di Semenanjung Malaysia perlu memainkan peranan dalam membantu kerajaan untuk mengekalkan keharmonian kaum dalam kalangan rakyat di negeri ini.\nBeliau juga amat yakin pergaulan di tempat kerja serta pertukaran budaya dan cara hidup memudahkan semangat perpaduan kaum mudah diterapkan. Melalui perkahwinan juga membolehkan keluarga antara satu sama lain memahami dan berkongsi adat resam masing-masing, kemudiannya diterapkan dalam kalangan rakyat.\nSaya mengharapkan agar rakyat Sabah dapat bersama-sama membantu merealisasikan usaha kerajaan untuk mengekalkan integrasi nasional.\nTegasnya lagi, PRESBAH akan terus bergerak seiring dengan kerajaan memantapkan semangat kekitaan dalam rakyat pelbagai kaum dan etnik. PRESBAH akan terus bergerak aktif mendaftar lebih ramai ahli, termasuklah rakyat Semenanjung sebagai ahli bersekutu PRESBAH untuk sama-sama menjayakan program-program yang dirancang.\nMenerusi ucapannya, Presiden PRESBAH turut menggesa kerajaan lebih cekap dan pintar dalam menangani segala keluhan rakyat di peringkat bawahan dengan meminimumkan kerenah birokrasi bagi memudahkan rakyat berurusan dalam pelbagai perkara, terutamanya dalam perihal meminta bantuan yang diperlukan khususnya dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa bencana banjir yang berlaku baru-baru ini.\nHadir sama, Pengerusi PRESBAH Zon Semenanjung YBhg. Datin Faridah Aynna Mohamad Said. Pada majlis ini, Presiden PRESBAH telah menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang terjejas banjir di Selangor. Agihan bantuan banjir di Kampung Batu Gajah, Sungai Buloh, selesai disempurnakan pada 27 Disember 2021 yang diketuai sendiri Pengerusi PRESBAH Zon Semenanjung dan turut sama ialah artis veteran legenda Sabah, K. Hassan dan ahli PRESBAH seramai lima orang." "Pascapandemik dan Banjir: KWSP Bantu Ahli Bina Semula Simpanan Persaraan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Rentetan penularan wabak COVID-19 yang menjejaskan sebahagian besar masyarakat, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memperkenalkan Skim pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar pada tahun 2020, serta diikuti oleh i-Citra pada bulan Julai 2021.\nInisiatif ini adalah untuk memenuhi keperluan aliran tunai sangat mendesak semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kemerosotan ekonomi yang melanda seluruh dunia.\nSecara faktanya, Malaysia berbaki sembilan tahun sahaja lagi untuk mencapai status negara menua pada tahun 2030. Hal ini menyebabkan ramai warga emas memerlukan sokongan padu dari kerajaan. Dianggarkan sebanyak 15 peratus daripada keseluruhan penduduk, iaitu sebanyak 3.5 juta memerlukan sokongan dari kerajaan.\nPada tahun 2042 pula, angka ini dijangka semakin meningkat kepada 7.4 juta orang bersamaan dengan 21 peratus dari keseluruhan penduduk yang akan memerlukan sokongan kerajaan.\nSituasi ini dijangka memberikan cabaran kepada KWSP untuk merangka dasar dalam aspek pekerjaan, jaminan pendapatan dan penjagaan kesihatan. Ketidakcukupan wang persaraan boleh menyebabkan ketidaktentuan lain seperti kos penjagaan kesihatan yang dijangka meningkat.\nMaka demikian seiring dengan pembukaan semula sektor ekonomi, KWSP kini memfokuskan gerak kerja untuk memulihkan semula simpanan pelanggan. Sebagai badan dana simpanan utama persaraan negara ini, KWSP sangat komited untuk membantu rakyat merancang persaraan dengan lebih berhemah serta menasihatkan orang ramai agar tidak membuat pengeluaran yang tidak bersifat mendesak.\nKWSP komited untuk terus melindungi simpanan ahli, selaras dengan mandatnya untuk memastikan simpanan ahli terus terpelihara bagi menjamin persaraan yang selesa. Kepelbagaian bantuan kewangan kerajaan yang ditawarkan kepada individu dan perniagaan untuk pemulihan daripada pandemik dan banjir.\nMengulas lebih lanjut, KSWP secara terbuka menzahirkan keprihatinan badan dana persaraan tersebut kepada rakyat Malaysia yang terkesan dengan bencana banjir dan tidak terkecuali dari tanggungjawab sosial terhadap rakyat yang terkesan akibat bencana luar jangkaan ini.\nSebagai organisasi yang bertanggungjawab dari segi sosial, KSWP dan organisasi lain perlu memainkan peranan penting ke arah kesejahteraan Malaysia.\n\u201cKWSP melalui penyertaannya di bawah Rangkaian Tindak Balas GLIC/GLC (GDRN) telah menawarkan sokongannya melalui sumber di bawah keupayaannya, termasuklah peruntukan RM10 juta yang diperoleh daripada penjimatan melalui perbelanjaan operasi yang diperuntukkan oleh KWSP." "Teknologi Atasi Fenomena Banjir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nFenomena banjir bukanlah hal yang asing di negara ini. Fenomena monsun atau musim tengkujuh pada setiap hujung tahun yang menyaksikan curahan hujan yang luar biasa sering membasahi bumi Malaysia. Keadaan di luar kawalan ini tentunya menggugat kesejahteraan masyarakat, lebih-lebih lagi bagi golongan yang tinggal berhampiran dengan sungai. Segala-galanya hilang sekelip mata, iaitu rumah kediaman, wang ringgit, kenderaan, bahkan musibah ini turut meragut nyawa manusia dan haiwan.\nJika diimbas kembali, sejarah telah pun menceritakan segala-galanya tentang fenomena banjir di negara ini. Musibah banjir ini telah pun berlaku sejak tahun 1886, 1923, 1926, 1971, 2014 dan kini 2021. Dalam tahun-tahun yang dinyatakan tersebut, hampir kesemua negeri di Semenanjung Malaysia telah pun merasai pengalaman berdepan dengan ujian alam ini. Misalnya, banjir yang berlaku pada 2014 \u201cmenelan\u201d mangsa yang lebih ramai, melibatkan negeri Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu. Penangan bencana alam itu hampir meranapkan kesemua negeri-negeri ini dengan sepantas kilat.\nUsai menelusuri sejarah yang kelihatannya berulang-ulang, apakah tindakan kita? Di Malaysia, kelihatannya persediaan teknologi mengurangkan dampak banjir masih lagi kurang jika hendak dibandingkan dengan negara-negara maju lain. Satu-satunya teknologi banjir yang wajar diberikan pujian ialah terowong Stormwater Management and Road Tunnel (SMART) bernilai RM1.87 juta yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2003. Hasilnya, baru-baru ini projek yang diletakkan di bawah Dasar Pembangunan Nasional ini telah pun berjaya melencongkan hampir 5 juta liter air hujan di sekitar Lembah Klang.\nBayangkan tanpa adanya teknologi ini, tentunya banjir di Lembah Klang pada 2021 ini berkali-kali ganda kesannya. Bayangkan lagi berapa banyakkah nyawa dan harta benda yang bakal terkorban? Maka itu, aspek inilah yang perlu diutamakan kerajaan dalam mengurangkan dampak \u201camukkan\u201d alam, sekali gus meningkatkan kesejahteraan masyarakat. Berdasarkan situasi yang berlaku, ternyata keupayaan terowong SMART sahaja tidak mencukupi untuk menyelesaikan isu banjir di Lembah Klang. Pemerkasaan dalam usaha menambah lagi pembinaan teknologi banjir perlu menjadi agenda utama negara menjelang tahun 2030.\nMengambil contoh Singapura, meskipun berada pada saiz yang kecil, negara jiran tersebut kini telah mempunyai lebih daripada satu teknologi pencegah banjir,iaitu Syed Alwi Detention Tank(Siap 2025), Stamford Detention Tank (beroperasi sejak 2018), dan Opera State Pumping Station (beroperasi sejak 2001). Sejak 2012, kerajaan Singapura telah membelanjakan kira-kira $SGD1.2 bilion untuk teknologi banjir dan turut memberi peruntukan tambahan sebanyak $SGD500 juta untuk tujuan itu. Hal ini menunjukkan Singapura benar-benar serius dalam mendepani cabaran perubahan iklim yang sebaik-baiknya turut perlu dilaksanakan oleh Malaysia.\nBerbanding dengan Malaysia, misalnya kawasan di sekitar Lembah Klang, kelihatannya kawasan seluas ini perlu dibangunkan lagi dengan beberapa buah teknologi pembasmi banjir tambahan sebagaimana yang dilakukan oleh Singapura ataupun kita boleh mengadaptasi sistem pembasmi banjir tersohor Jepun, iaitu Metropolitan Area Outer Underground Discharge Channel. Dengan teknologi pembasmi banjir tambahan yang berkuasa tinggi, setidak-tidaknya risiko banjir di kawasan yang terdedah dapat diminimumkan sehabis mungkin.\nBegitu juga pada peringkat negeri, agenda pembinaan teknologi banjir ini mestilah menjadi keutamaan. Negeri Perak antara negeri yang telah menampakkan tindakannya dalam mendepani hal ini. Pada ketika ini, terowong bawah tanah banjir sedang dibina di bandar Ipoh yang membolehkan kesemua air pembetungan dipamkan keluar melalui terowong bawah tanah dan dilepaskan di sebuah loji yang terletak di kawasan Papan. Teknologi tersebut yang seakan-akan menyerupai model teknologi banjir Jepun ini berpotensi tinggi bagi mengelakkan Ipoh ditenggelami banjir. Tindakan proaktif sebeginilah yang perlu diambil oleh pihak kerajaan yang tidak lain dan tidak bukan demi melindungi kesejahteraan masyarakat.\nPenulis, Calon Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Perubahan Sosial dan Impak, Universiti Tun Hussein Onn (UTHM)." "Agama Mengukuhkan Akidah dan Adab\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPendidikan berteraskan Islam pada hari ini menjadi pilihan kebanyakan ibu bapa. Hal ini berlaku apabila pendidikan ini dilihat sebagai benteng yang kukuh untuk pembangunan sahsiah generasi masa depan. Disebabkan hal itu juga, dalam Belanjawan 2022, sebanyak RM100 juta peruntukkan disalurkan bagi tujuan operasi dan penyelenggaraan sekolah tahfiz, sekolah pondok berdaftar dan sekolah agama rakyat (SAR).\nMendidik anak mengenali agama merupakan hal yang perlu dipenuhi oleh ibu bapa supaya anak-anak membesar dalam ketaatan kepada Allah SWT. Selain itu, didiklah mereka untuk mencintai Rasulullah SAW dan keluarga baginda supaya anak-anak dapat mencontohi sunah dan pekerti Rasulullah SAW.\nDalam Riwayat at-Tabarani, Rasulullah SAW bersabda, \u201cDidiklah anak kamu pada tiga bahagian utama. Pertama, didiklah dia supaya mencintai nabi kamu. Kedua, didiklah mereka untuk mencintai keluarga Rasulullah SAW dan ketiga, didiklah anak kamu dengan al-Quran.\u201d Suatu ketika dahulu, sekolah agama dipandang sepi, malah tidak menjadi kepentingan untuk menghantar anak-anak ke Kelas Agama Fardu Ain (KAFA), namun tidak pada hari ini. Mata pelajaran Pendidikan Islam yang diajar dalam sesi persekolahan harian biasa dilihat tidak mencukupi bagi kebanyakan ibu bapa.\nPada 2019, satu kajian yang dijalankan Harvard University, mendapati anak-anak yang dibesarkan dalam didikan agama membesar dengan lebih sihat, bersahsiah dan mempunyai kehidupan yang baik ketika dewasa. Kajian yang dikendalikan Harvard School of Public Health ini dijalankan ke atas 5000 orang responden yang berusia antara lapan hingga 14 tahun dan hasilnya sebanyak 18 peratus daripada mereka menikmati kadar kegembiraan yang lebih tinggi berbanding dengan yang anak-anak yang tidak menerima pendidikan agama sejak kecil.\nPerkukuh Iman Anak Sejak Awal Usia\nDalam Islam sendiri, didikan terhadap anak-anak bermula daripada mereka mumaiyiz apabila perkara pertama yang wajar diajari ialah akidah, taharah (bersuci) dan al-Quran. Begitu indahnya ajaran Islam. Pendidikan awal kanak-kanak dimulai dengan perkara yang mengukuhkan iman, iaitu akidah yang berteraskan asas agama terutamanya kepercayaan kepada Allah SWT kerana tanpa kepercayaan, jiwa kita tidak terisi dengan sifat yang baik.\nWalau bagaimanapun, dalam menjadikan didikan itu seimbang, ibu bapa perlu bijak memainkan peranan masing-masing dalam mendidik anak-anak. Didikan seimbang meliputi didikan mengikut peredaran zaman apabila pada hari ini anak-anak bukan sekadar menuju era modenisasi, malah turut melangkau dunia tanpa sempadan. Mereka tidak lagi gentar dengan arahan dan pandangan \u201ctajam\u201d ibu bapa seperti pada zaman 80-an dan 90-an, kerana anak-anak generasi kini dilahirkan dengan keadaan sekeliling yang penuh dengan pelbagai hiburan digital tanpa sempadan.\nMereka memerlukan sentuhan fizikal dan emosi untuk menjadikan jiwa lebih stabil seperti mana Saidina Umar al Khatab pernah menyatakan bahawa \u201cDidiklah anak-anakmu itu berlainan dengan zaman kamu sekarang kerana mereka telah dijadikan Tuhan untuk zaman yang bukan zaman engkau.\u201d\nDi sisi agama Islam itu sendiri, Nabi Muhammad SAW juga meletakkan pendidikan Islam sebagai asas kehidupan yang perlu diterapkan sejak kecil lagi. Solat menjadi antara perkara utama yang wajib diserapkan dalam diri anak-anak seperti sabda Baginda SAW yang bermaksud, \u201cDidiklah anak kamu supaya solat pada usia tujuh tahun dan rotanlah mereka apabila usia mereka menjangkau 10 tahun (jika masih meninggalkan solat).\u201c (Riwayat Abu Dawud).\nBegitulah pentingnya didikan agama untuk menampilkan generasi masa depan yang bukan sahaja mempunyai tahap intelektual yang tinggi, malah mempunyai sahsiah dan adab yang unggul. Sebagai ibu bapa yang membesarkan anak-anak dalam era penuh pancaroba ini, seharusnya menjadikan pendidikan berteraskan Islam perlu dijadikan sebagai satu kewajipan walaupun dari segi piagam pendidikan negara, SAR sebagai contoh merupakan pilihan ibu ayah. Hal ini dikatakan demikian kerana, sekiranya anak-anak kurang cakna terhadap amalan syariat dan agamanya itu bererti ada sesuatu yang belum cukup untuk menjadi benteng masa depannya. Tugas ibu bapa bukan sekadar menyediakan keperluan dunia semata-mata, namun tetapi sejauh mana amanah yang dipertanggungjawabkan, iaitu anak-anak yang dikurniakan Allah SWT dijaga dan dipimpin mengikut panduan yang telah ditetapkan oleh ajaran Islam." "PM Umum RM1.4 Bilion Bantuan Banjir Keluarga Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nPutrajaya \u2013 Kerajaan Malaysia melalui Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bantuan keseluruhan berjumlah RM1.4 bilion kepada mangsa banjir yang terjejas di beberapa negeri baru-baru ini.\nBantuan ini dianggarkan dapat dinikmati oleh sejumlah 30 000 Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar untuk menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI).\nBagi tujuan ini, saya mengarahkan pihak berkaitan agar mempermudahkan urusan pembayaran tanpa sebarang birokrasi atau tanpa perlu mengisi pelbagai borang seperti sebelum ini.\nBWI banjir ini memperuntukkan RM1000 bagi setiap KIR yang terjejas akibat banjir, termasuklah mereka yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), manakala waris mangsa yang meninggal dunia akan menerima bantuan berjumlah RM10 000.\nBWI boleh dituntut setiap kali berlaku bencana berbanding dengan sebelum ini yang memperuntukkan bantuan hanya untuk sekali.\nUntuk rekod, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mengagihkan peruntukan awal BWI sebanyak RM34 juta kepada 11 buah negeri dan 25 waris kes kematian pula telah menerima bantuan RM10 000 bagi setiap seorang. Peruntukan sebanyak RM100 juta juga telah dikeluarkan bagi pelaksanaan kerja-kerja pascabanjir, selain peruntukan tambahan berjumlah RM50 juta khusus untuk negeri Selangor dan Pahang.\nSementara itu, Bank Negara Malaysia menyediakan Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) sehingga RM500 000 kepada pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), serta RM75 000 kepada usahawan mikro. Bank Simpanan Nasional pula menawarkan pembiayaan sehingga RM10 000 pada kadar 0 peratus dengan tempoh bayaran balik sehingga 3.5 tahun termasuk moratarium bayaran balik selama enam bulan.\nAgensi dan syarikat berkaitan kerajaan serta pelaburan juga mengambil inisiatif untuk membantu mangsa banjir. Beliau berkata,\nSeperti diketahui, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) telah menubuhkan GLIC/GLC Disaster Response Network (GDRN) bertujuan menggerakkan usaha menangani dan menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir. Setakat ini, GDRN telah membantu kira-kira 15 000 buah keluarga sejak 19 Disember 2021.\nSyarikat motokar, Perodua pula mengambil inisiatif meringankan beban mangsa banjir dengan menyediakan perkhidmatan tunda kereta ke pusat servis Perodua secara percuma. Diskaun sehingga 50 peratus bakal dinikmati pengguna bagi pembelian alat ganti, selain daripada kos upah dan baik pulih secara percuma.\nTindakan yang sama dilaksanakan oleh pihak Proton buat pengguna mereka yang mendapatkan servis di pusat servis Proton yang berdaftar.\nKerajaan berharap agar kesemua daya usaha yang dijalankan dapat membantu meringankan beban Keluarga Malaysia yang terjejas akibat banjir. Kerajaan juga menggesa agar semua rakyat berusaha dan berdoa agar implikasi bencana ini dapat ditangani secepat mungkin." "Cabaran Penjagaan Anak Berkeperluan Khas\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAnak istimewa atau pun kanak-kanak berkeperluan khas merangkumi banyak kategori termasuk yang cacat anggota, cacat penglihatan, cacat pendengaran, Cerebral Palsy (CP), Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), disleksia, autisme dan sebagainya. Sebahagian daripada mereka dilahirkan sedemikian ataupun mula dikesan menghidap permasalahan tersebut selepas melewati usia tertentu. Permasalahan tersebut berlaku pada tahap ringan, sederhana atau teruk.\nSesetengah permasalahan tanpa gejala fizikal kerap dilabelkan sebagai terlalu lasak atau tidak dikawal oleh ibu bapa, sedangkan kemungkinan mereka berdepan masalah ADHD, autisme atau simptom tingkah laku yang lain. Keadaan ini menyebabkan sesetengah ibu bapa berdepan dengan stigma dan menyorokkan anak-anak di rumah supaya tidak mengganggu atau menjadi buah mulut jiran tetangga.\nIbu bapa sebenarnya boleh mendapatkan bantuan kaunselor, ahli terapi atau guru pendidikan khas. Keluarga yang berkemampuan mempunyai pilihan untuk \u00c2\u00a0menghantar anak-anak istimewa ini ke sekolah atau pusat latihan swasta selain program pendidikan yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan. Pada masa yang sama, ada juga sebilangan sekolah yang dibina menggunakan sumbangan organisasi korporat untuk membantu keluarga B40 dan M40 yang mempunyai anak berkeperluan khas.\nUntuk mengatasi permasalahan ibu bapa dalam menguruskan anak-anak istimewa ini, guru pendidikan khas dan ahli terapi boleh menggunakan kaedah intervensi tingkah laku (behavioural intervention) termasuklah untuk mengawal reaksi di luar jangkaan seperti menonjolkan emosi atau tindak balas secara melampau, khususnya untuk kes autisme dan ADHD. Misalnya, apabila mereka berasa teruja, kanak-kanak ini kerap kali bertepuk kuat atau menjerit kerana gembira-sesuatu yang dianggap janggal dalam perhubungan anggota masyarakat. Keadaan menjadi lebih sukar jika melibatkan kes autisme tahap teruk yang tidak melibatkan komunikasi lisan, dan kebiasaannya kanak-kanak ini hanya tahu menarik tangan guru atau ibu bapa mereka ke arah sesuatu yang dingini, ataupun hanya duduk menangis di sesuatu tempat. Situasi sebegini menyukarkan ibu bapa memahami kehendak anak sehingga membawa kepada kanak-kanak itu membuat perangai (tantrum) atau menangis tanpa henti.\nTingkah laku ini boleh diubah perlahan-lahan dengan latihan ahli terapi atau guru pendidikan khas di sekolah, tetapi penularan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memaksa ibu bapa mengambil alih serta meneruskan program latihan di rumah. Sebilangan kes menyaksikan kanak-kanak ini, khususnya autisme, membentuk kembali sikap lama yang sudah diatasi dan ada juga membentuk pelbagai sikap baharu yang berulang-ulang seperti membuat bunyi nyaring, menyanyi, bertepuk tangan dengan kuat dan beberapa perangai pelik lain disebabkan terlalu lama terkurung di dalam rumah.\nSepanjang tempoh PKP dan penutupan semua sekolah, para guru terpaksa mengharapkan ibu bapa menyambung latihan di rumah di samping menjalankan kelas dalam talian. Ada murid berkeperluan khas kelihatan teruja, namun ada juga yang memberontak kerana mahu kembali kepada rutin memakai uniform sekolah dan menghadiri kelas.\nKesukaran menjalankan intervensi tingkah laku di rumah terjadi kerana ibu bapa tiada latihan dan kurang kepakaran. Namun begitu, rata-ratanya berusaha keras dengan melatih anak mereka termasuklah mendapatkan maklumat serta kaedah tambahan dari pelbagai sumber. Ada juga keluarga yang mempunyai lebih daripada seorang anak autisme.\nSebilangan kecil keluarga bukan sahaja keletihan, malah turut berdepan dengan kemurungan semasa menguruskan anak-anak ini sepanjang tempoh PKP akibat beban kemiskinan, tiada peranti untuk komunikasi dalam talian, kesukaran mencari sumber pendapatan, bahkan berdepan dengan perangai anak istimewa yang disebabkan perubahan rutin. Situasi ini menyebabkan ada ibu bapa yang kurang memberi kerjasama malah ada yang berhenti berhubung dengan guru dan pihak sekolah.\nIbu bapa perlu cuba mengekalkan kesinambungan latihan di rumah, menggunakan kaedah yang disarankan oleh guru bagi membentuk satu rutin harian. Sebagai contoh, penyediaan jadual aktiviti dan memaklumkan berkenaan sebarang perubahan rutin dengan memberi penjelasan yang lebih awal. Sebarang masalah boleh dibincangkan dengan guru untuk mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar. Walau apa-apa juga situasi yang dihadapi, ibu bapa tidak boleh mengalah dalam usaha melatih dan mendidik anak-anak ini untuk berdikari sebaik mungkin, sehingga pada satu tahap optimum yang mampu dicapai mengikut keupayaan kanak-kanak tersebut." "Indeks Harga Pengeluar Terus Meningkat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIndeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan pada November meningkat 12.6 peratus berbanding dengan penurunan 3.0 peratus yang dicatatkan pada bulan yang sama tahun sebelumnya, sekali gus menandakan lapan bulan berturut-turut inflasi dari perspektif pengeluar mencatatkan peningkatan dua angka pada tahun ini.\nKetua perangkawan, Dato\u2019 Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata,\nPeningkatan dalam IHPR pengeluaran tempatan pada bulan ini disumbangkan oleh Indeks perlombongan yang melonjak 71.2 peratus berbanding dengan kejatuhan yang dicatatkan pada November 2021. Peningkatan harga minyak mentah dan gas asli telah menyumbang kepada kenaikan ini.\nSeterusnya, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan juga meningkat, namun pada kadar yang perlahan, iaitu 19.1 peratus. Indeks pembuatan dan bekalan air turut mencatatkan kenaikan, masing-masing 8.4 peratus dan 0.2 peratus.\nNamun begitu, untuk indeks bekalan elektrik dan gas turun sebanyak 0.8 peratus.\nBagi perbandingan bulanan, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 1.4 peratus pada November 2021. Peningkatan ini disumbangkan oleh indeks pertanian, perhutanan dan perikanan (5.9 peratus), indeks pembuatan (1.3 peratus) dan indeks bekalan air (0.9 peratus). Manakala indeks perlombongan dan indeks bekalan elektrik dan gas menurun, masing-masing mencatatkan 2.3 peratus dan 0.3 peratus.\nMengulas lebih lanjut, beliau berkata \u201cpenurunan indeks perlombongan disebabkan harga minyak mentah yang merosot berikutan penemuan varian COVID-19 baharu, iaitu Omicron buat pertama kalinya dikesan di Afrika Selatan yang menyebabkan kebimbangan penyebarannya, sekali gus memperlahankan permintaan terhadap komoditi tersebut.\u201d\nTambah beliau lagi, harga komoditi yang melambung tinggi baru-baru ini disebabkan cuaca sejuk, angin kencang berserta hujan lebat di kebanyakan tempat di Malaysia mempengaruhi kenaikan kos komoditi, terutamanya sayur-sayuran.\n\u201cBilangan pekerja yang tidak mencukupi di kawasan ladang juga mengurangkan bilangan keluaran, seterusnya mengakibatkan gangguan bekalan dan menyebabkan kenaikan harga,\u201d katanya dalam kenyataan sidang media hari ini.\nBaru-baru ini, hujan lebat menyebabkan banjir besar di beberapa buah negeri turut memusnahkan kebanyakan tanaman dan kemudiannya boleh mengakibatkan gangguan dalam rantaian bekalan, malah mendorong kepada kecenderungan tekanan terhadap harga pasaran." "Tahun 2022, Didik Diri Lebih Cekal Hadapi Ujian \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 \u201cKita banyak belajar daripada pelbagai peristiwa, termasuklah COVID-19, banjir besar, politik dan lain-lain yang seharusnya menjadikan kita lebih cekal dan sewajarnya mendidik diri supaya memberikan lebih perhatian terhadap pelbagai aspek. Kesedaran berkaitan dengan kesihatan juga semakin meningkat dan ramai sudah peka dengan tahap kesihatan diri dan keluarga\u201d.\nDemikianlah titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan mencemar duli untuk berkongsi pengalaman serta sumber pembakar semangat, selain daripada pedoman positif kepada rakyat agar bersama-sama maju ke hadapan menjelang tahun baharu ini, tahun 2022.\n\nBaginda berharap agar rakyat segera meninggalkan perkara yang berunsur negatif dengan mengenang kembali setiap kejayaan dan pencapaian cemerlang yang diperoleh sama ada daripada diri sendiri, keluarga, masyarakat, organisasi mahupun negara sebagai panduan mengharungi cabaran pada masa hadapan.\nBaginda turut bertitah,\nKita sedar kehidupan ini sentiasa menjanjikan cabaran dan perlu berusaha untuk kembali bangkit memajukan diri. Segala yang dimiliki hari ini tidak kekal, termasuklah harta benda dan perniagaan yang bila-bila masa sahaja boleh terjejas akibat penularan penyakit, bencana dan sebagainya.\nTuanku Raja Muda berkenan berangkat menerima zakat perniagaan QSR Brands (M) Holdings Bhd. bagi tahun 2021 berjumlah RM50 965 yang dipersembahkan oleh Pemangku Ketua Jabatan Shariah dan Pematuhan Halal syarikat berkenaan, Hayazi Darus di Bangunan MAIPs, Kangar. Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj. Mohd. Nazim Mohd. Noor turut mengiringi baginda ketika penyampaian penerimaan zakat perniagaan tersebut.\nDalam kesempatan ini, Tuanku Raja Muda turut menitahkan ucapan penghargaan dan tanda terima kasih kepada rakyat yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan baginda seisi keluarga, dan juga kepada yang telah mempersembahkan ucapan selamat menyambut hari ulang tahun keputeraan kepada baginda pada hari ini melalui pelbagai medium, termasuklah kad, surat, WhatsApp, media sosial lain, serta cenderamata sebagai tanda kenang-kenangan." "Penularan Omicron dan Cabaran Sektor Pendidikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBelum pun selesai isu varian-varian COVID-19 sebelumnya itu terhapus, kini muncul pula varian baharu yang dikenali sebagai Omicron yang dilabelkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebagai \u201cvarian yang perlu diberikan perhatian\u201d. Varian ini dikatakan lebih kental dalam menurunkan tahap kekebalan sistem imunisasi manusia. Setakat 25 Disember 2021, kumulatif kes yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, ialah 62 kes.\nPersoalannya, adakah perkembangan ini memberi implikasi kepada sektor pendidikan negara? Sebelum ini, institusi pendidikan telah \u00a0melalui \u201cepisod muram\u201d yang panjang. Sejak penularan COVID-19, institusi pendidikan kerap melalui proses buka dan tutup secara berulang-ulang. Manakala kelangsungan proses keilmuan para pelajar pula diteruskan melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan keadaan yang hampir tidak sempurna. Hal ini disebabkan kaedah ini bukanlah satu proses yang mudah dilaksanakan, terutamanya melibatkan cabaran-cabaran yang perlu ditempuhi oleh para guru, ibu-bapa dan para pelajar.\nKekangan utama tentunya melibatkan komitmen ibu bapa. Proses PdPR yang memerlukan pengawasan berterusan para ibu bapa sukar untuk direalisasikan sepenuhnya, terutamanya bagi mereka yang bekerja sepenuh masa. Barangkali, bagi anak-anak yang berumur 10 tahun ke atas mungkin mampu menguruskan proses PdPR ini secara kendiri, namun bagi kanak-kanak yang berusia lima hingga sembilan tahun, keadaan ini mungkin bukan suatu hal yang mudah. Sebagai contoh, seseorang murid yang ingin menyertai kelas melalui aplikasi Microsoft Team, perlu melalui proses yang agak rumit dan pasti memerlukan bimbingan orang dewasa. Hal ini tidak termasuk soal kelemahan ibu bapa tentang selok-belok teknologi. Ditambah pula bagi golongan yang tinggal di kawasan pendalaman, dugaan yang dilalui sememangnya berlipat kali ganda.\nPada peringkat global, baru-baru ini Perdana Menteri Sementara Belanda, Mark Rutter telah pun melaksanakan langkah berjaga-jaga bagi menghadapi varian Omicron dalam sektor pendidikan. Sebagai langkah berjaga-jaga, sekolah-sekolah di Belanda ditutup seminggu lebih awal daripada tarikh yang sepatutnya. Manakala, kes COVID-19 di India, iaitu di wilayah Delhi, Gujarat dan Mumbai telah meningkat secara mendadak menyebabkan kerajaannya terpaksa menutup sekolah sekali lagi demi mengekang penularannya. Namun begitu, langkah seperti ini bukanlah kaedah penyelesaian secara tuntas.\nMelihat kecondongan sebegini pada peringkat global, \u00a0adakah institusi persekolahan di negara kita juga bakal ditutup? Memetik kata-kata Pegawai Eksekutif United Nation Children\u2019s Fund (UNICEF) \u201cnationwide school closures should be avoided whenever possible\u201d \u00a0yang bermaksud, penutupan sekolah mestilah menjadi pilihan akhir jika benar-benar ketiadaan alternatif lainnya. Komentar ini mempunyai asasnya dengan melihat risiko-risiko penutupan sekolah yang mampu melahirkan lost generation (pelajar ketinggalan).\nMenerusi PdPR, tidak semua pelajar dapat menyertainya. Bahkan,untuk para guru supaya dapat memastikan kehadiran semua pelajar juga adalah mustahil. Hal ini tidak lagi termasuk kesukaran kawalan para guru terhadap pelajar, lebih-lebih lagi apabila terdapat pelajar yang tidak membuka kamera ketika menghadiri kelas secara dalam talian. Guru-guru tidak mampu memastikan apa-apa yang sedang berlaku di sebalik skrin komputer tersebut. Kesannya tentulah besar, terutamanya tentang tahap penyerapan ilmu para pelajar yang tidak dapat dipastikan.\nKerajaan dikatakan bakal memulakan pemberian vaksin kepada kanak-kanak di bawah 12 tahun, tetapi pelaksanaannya dijangka terlaksana pada tahun 2022 melalui pemberian vaksin keluaran Pfizer BioNTech. Di United Kingdom (UK), beratus-ratus ribu orang kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang terdedah secara klinikal telah pun ditawarkan vaksin buat kali pertama dan beberapa orang saintis turut menyarankan agar program itu diperluaskan sebelum penggal persekolahan baharu di UK.\nOleh sebab itu, tiada lagi kaedah yang benar-benar efektif selain daripada menyegerakan proses vaksinasi kanak-kanak di bawah 12 tahun. Inilah satu-satunya jalan dalam usaha mengelakkan sekolah kembali ditutup. Sepertimana negara-negara yang lain, kerajaan seharusnya mengutamakan agenda ini sebagai satu daripada inisiatif untuk memperkasakan institusi pendidikan. Hal ini bertujuan mengekang kewujudan \u201cpelajar-pelajar ketinggalan\u201d yang bakal menjejaskan modal insan negara pada masa depan.\nPenulis, Calon Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)." "Buah Termahal di Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBerikutan dengan pandemik COVID-19, Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang berhadapan dengan kenaikan harga barangan. Keadaan ini melanda hampir di seluruh negara di dunia.\nKelemahan mata wang dan kebergantungan terhadap barangan import sama ada barangan mentah dan makanan menambahkan lagi kesan inflasi dan kenaikan harga barangan. Maka itu, berbicara tentang isu harga barangan yang mahal, ada sesuatu yang menarik untuk diberikan perhatian, iaitu harga tembikai yubari (yubari melon). Hatta, jika dibandingkan dengan harga sekilogram musang king sekalipun, harga buah ini ibarat langit dengan bumi.\nUntuk makluman, hingga Julai lalu, musang king untuk gred AAA (eksport) dijual pada harga RM60 sekilogram. Harga runcit bagi gred A (RM52), gred B (RM32) dan gred C (RM18). Persoalannya berapakah harga tembikai yubari? Tembikai ini berharga AS$200 atau RM840 sebiji. Yubari merupakan tembikai terbaik Jepun yang juga dikenali sebagai Hokkaido melon. Namun begitu, harga tersebut masih rendah jika dibandingkan dengan rekod yang pernah dicatatkan pada Mei 2019. Dua biji tembikai dari Hokkaido ini dijual dengan harga 5 juta yen atau bersamaan dengan AS$45 000 (RM189 220), atau RM94 610 bagi sebiji tembikai yubari yang menjadikannya buah termahal di dunia!\nApakah yang menyebabkan buah ini sangat mahal? Sejak beberapa tahun belakangan ini, keenakan buah Jepun telah menarik perhatian banyak negara luar. Antara buah-buahan yang dicari termasuklah tembikai yang dilabelkan sebagai buah berkelas tinggi. Terdapat pelbagai jenis tembikai yang ditanam di seluruh Jepun dan harganya berkisar daripada harga yang murah untuk kegunaan harian kepada yang mewah untuk dijadikan sebagai hadiah. Tembikai yubari merupakan satu daripada jenis tembikai yang paling terkenal. Jika berkunjung ke kedai buah-buahan mewah di Tokyo, anda mungkin dapat melihat pelekat jenamanya yang cukup popular.\nTembikai yubari terhasil daripada kacukan dua jenis tembikai, iaitu earl\u2019s favorite dan burpee. Nama yubari mengambil nama bersempena dengan tempat asal buah ini, iaitu bandar Yubari, Pulau Hokkaido. Masyarakat Jepun percaya bahawa tembikai yubari mempunyai rasa yang sedap, aroma yang unik , bentuk yang menarik dan kulit yang cantik seperti pasu porselin purba yang sangat berharga. Maka itu, tembikai yubari sentiasa menjadi hadiah yang terhebat di Jepun.\nSelain proses penanaman yang sukar, bekalannya juga amat terhad. Tembikai yubari juga dihargai kerana bentuknya yang bulat dan sempurna, kulitnya yang nipis, serta licin. Di Jepun, penanaman tembikai ini menjadi perniagaan yang amat serius. Tidak seperti tembikai biasa yang berharga sekitar AS$5 (RM21) yang boleh dibeli di pasar raya, tembikai yubari memerlukan penjagaan yang berterusan dan perhatian yang secukupnya untuk membesar. Proses penanamannya dibuat di dalam rumah hijau, memakan masa untuk ditanam dan dijaga, serta penggunaan buruh manual yang mahal.\nPada setiap tembikai yubari mengambil masa 100 hari untuk tumbuh dan buahnya ditanam sepanjang tahun. Terdapat 20 jenis benih tembikai yubari yang sedikit berbeza dan banyak bergantung pada musim tanaman. Batas tanaman yang ditinggikan membolehkan petani mengawal jumlah air yang diperlukan oleh pokok. \u00a0Penyaman udara dan pemanasan juga akan menentukan kualiti buah yang dihasilkan.\nTembikai yubari mempunyai empat gred, iaitu fuji, yama, shiro dan yuki. Mana-mana tembikai yang mempunyai kecacatan walaupun kecil akan ditandai sebagai yuki, dan tiga gred teratas digredkan berdasarkan kandungan gula dan penampilan buah yang sempurna. Sebanyak 55 peratus daripada tembikai yubari menghasilkan gred shiro; gred ketiga, iaitu sebanyak 25 peratus ialah jenis yama; dan sebanyak 0.1 peratus, atau satu daripada 1000 daripada semua tembikai yang dituai, dilabelkan sebagai fuji, iaitu gred yang tertinggi. Selepas kira-kira 50 hari ditanam, pokok tembikai yubari biasanya akan mula berbunga dan berputik.\nSemua kerja ini dilakukan sepenuhnya secara manual dengan tujuan untuk mendapatkan kesempurnaan buah. Apabila saiz buah semakin membesar, buah akan dibungkus dengan teliti dengan kertas putih untuk melindunginya. Setiap buah akan digilap dan diurut dengan tangan. Selepas proses mengurut selesai, buah akan ditutup untuk melindunginya daripada matahari bagi tempoh pertumbuhan terakhir. Petani akan memakai beberapa jenis sarung tangan putih untuk menggilap buah. Bagi mengekalkan harganya, pegawai pertanian tempatan akan bertindak dengan menyelia pengedaran dan memeriksa kualiti buah.\nMereka akan memastikan kualiti buah sentiasa dijaga agar harga tidak dikurangkan. Hasilnya, rasa buah yang tuai tidak dapat dinafikan amat luar biasa. Setiap buah mempunyai keseimbangan rasa yang kompleks dan sangat berair serta manis. \u00a0Maka itu, meskipun kosnya tinggi, pasaran terhadap buah ini terus melebar \u00a0di seluruh Jepun. Pelanggan\u00a0 sanggup membayar untuk memastikan hadiah mereka sempurna, tambahan pula setelah mengetahui kerja yang dilakukan untuk menghasilkan tembikai termahal ini.\nSelain masa dan tenaga yang dilaburkan, tembikai yubari mesti ditanam di bandar Yubari. Tambahan pula, musim tembikai ini ditanam sangat terhad \u2013 buah hanya masak pada akhir Mei hingga awal Ogos setiap tahun. Bilangan ladang yang digunakan untuk menanam tembikai yubari juga terhad. Hal ini dikatakan demikian \u00a0kerana selepas satu musim berlalu, ladang tidak boleh digunakan untuk tanaman yang lain hingga tempoh setahun.\nSelain itu, buah ini tidak boleh disimpan lama dan mesti dimakan dengan cepat selepas dipetik. Hal ini menjadikannya sukar untuk diangkut keluar dari Hokkaido, apatah lagi ke peringkat antarabangsa. Oleh itu, sekiranya anda ingin mencuba sendiri tembikai yubari, cara termudah dan termurah adalah dengan berkunjung ke Yubari pada Mei hingga Ogos pada setiap tahun.\nHarga yang Tertinggi \nDua biji tembikai yubari yang paling mahal pernah dijual dengan harga 5 juta yen atau $45 000 (RM189 220), kepada syarikat Tokyo Pokka Sapporo Food & Beverage Ltd. pada tahun 2019. Buah yang dilelong bukanlah sembarangan tembikai yubari, tetapi merupakan buah daripada tuaian pertama \u2013 sering dianggap sebagai buah yang paling manis dan paling lazat.\nWalau bagaimanapun, disebabkan pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi, harga lelongan bagi tembikai ini turun pada tahun 2020, iaitu hanya berharga 120 ribu yen (AS$1 100 atau RM4625). Namun begitu, harga tersebut tidak kekal, kini harga tembikai yubari \u00a0kembali mencanak. \u00a0Pada tahun 2021, dua biji tembikai Yubari dijual pada harga 2.7 juta yen atau RM100 421. Persoalannya, siapakah yang sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk sebiji tembikai? Selalunya, bukan orang perseorangan yang akan membeli tembikai yang mahal ini, tetapi syarikat besar dan ternama untuk dijadikan hadiah yang paling sempurna \u2013 dibungkus di dalam kotak mewah, diletakkan di atas kain sutera atau jerami dan dihias dengan reben.\nCara Makan Tembikai Yubari \nTembikai yubari mempunyai rasa yang halus, manis seperti seperti madu dengan tekstur yang lembut dan berair \u2013 menepati campuran pelbagai buah-buahan seperti strawberi, pic, tembikai dan vanila.\nTembikai yubari yang masak mempunyai rasa manis dan berair yang enak. Petani Jepun mendakwa bahawa rasa utama tembikai ini berasal dari abu gunung berapi yang terkandung di dalam tanah. Di Jepun, tembikai yubari dimakan dengan berhati-hati. Anda mesti menyejukkannya selama beberapa jam. Selepas tangkainya dibuang, tembikai tersebut dibelah dua dan bijinya dikeluarkan. Dengan menggunakan sudu, isinya dikeluarkan secara perlahan-lahan. \u00a0Anda juga boleh menghiris tembikai secara menegak sebelum memotongnya \u00a0menjadi beberapa kepingan, namun kulitnya tidak dibuang.\nTembikai yubari mungkin yang paling mahal di dunia, tetapi adakah tembikai ini juga tembikai yang terbaik di dunia? Satu hidangan tembikai yubari menyediakan 100 peratus keperluan harian untuk vitamin A, vitamin C (95 peratus), Kalsium (1 peratus), Zat Besi (2 peratus) dan Vitamin K (5 peratus). Tembikai yubari king pula mengandungi vitamin B3 (niasin), B6 (pyridoxine), B9 (asid folik) dan C yang menguatkan sistem imun badan. Tembikai yubari king kaya dengan vitamin, mineral dan nutrien, serta sangat kaya dengan vitamin C yang mampu mencegah penyakit dan menguatkan sistem imun. Vitamin C juga menyokong penghasilan kolagen, iaitu protein utama yang diperlukan untuk pembaikan kulit. Maka itu, pakar pemakanan mengesyorkan agar orang dewasa mengambil tidak lebih daripada 300 gram hingga 500 gram tembikai pada setiap hari." "Meneroka Peluang Penulisan dalam Majalah DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKubang Kerian\u00a0\u2013\u00a0\u201cNenek saya tidak pandai membaca tetapi dia kenal lambang kipas,\u00a0iaitu logo Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\u201d Demikian antara kata-kata menarik daripada Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, Pemangku Pengarah Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) sewaktu merasmikan program Bicara Santai Penerbitan Karya Ilmiah dalam Bahasa Melayu bersama-sama\u00a0DBP di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, Kelantan. Kenyataan beliau itu membuktikan\u00a0kepentingan DBP sebagai institusi yang memacu kegemilangan bahasa Melayu semenjak sekian lama.\nProgram yang dianjurkan oleh Pejabat Pengarah Kampus Kesihatan, USM, yang berlangsung selama separuh hari\u00a0ini mendapat sambutan yang sangat baik daripada 100 orang peserta yang terdiri daripada warga kampus,\u00a0termasuklah\u00a0para pelajar.\u00a0Program yang dilaksanakan secara bersemuka dan secara dalam\u00a0talian\u00a0ini menampilkan\u00a0dua orang editor profilik dari Bahagian Majalah DBP,\u00a0iaitu Puan Aninah Janang, Timbalan Ketua Editor\u00a0Bahagian Majalah, dan Puan Yusaida Yusof, Editor Kanan\u00a0Bahagian Majalah yang juga\u00a0merangkap Editor Dewan Bahasa, telah memberikan perkongsian secara menyeluruh mengenai penerbitan artikel untuk majalah DBP.\nDalam sesi pertama, Puan Aninah berkongsi maklumat tentang 11\u00a0buah majalah DBP,\u00a0selain menyentuh\u00a0secara ringkas\u00a0mengenai platform digital DBP, iaitu JendelaDBP. Menurut beliau,\u00a0semua majalah\u00a0tersebut mempunyai tema khusus\u00a0dan warga USM berpeluang untuk menulis artikel\u00a0yang\u00a0bersesuaian mengikut tema sesebuah majalah.\nSementara itu, semua warga USM juga digalakkan\u00a0untuk menulis artikel ilmiah dalam bentuk santai untuk perkongsian dengan masyarakat awam\u00a0seperti yang dinyatakan\u00a0oleh Puan Yusaida. Semenjak beliau mengambil alih majalah Dewan Bahasa\u00a0pada Januari 2021, beliau telah menukar konsep majalah tersebut supaya lebih mesra masyarakat dan tidak terlalu fokus kepada akademik\u00a0semata-mata. Menurut beliau, sesuatu isu boleh diolah supaya bersesuaian dengan tema kebahasaan\u00a0untuk majalah\u00a0Dewan Bahasa.\nPada sesi akhir program, peserta turut berpeluang mengajukan beberapa soalan dan bertukar-tukar pandangan, malah yang lebih membanggakan, ada dalam kalangan peserta turut berpeluang menyerahkan hasil karya penulisan mereka yang berpotensi untuk diterbitkan. Ternyata program sebegini akan lebih mendedahkan lebih banyak warga USM untuk menghasilkan penulisan yang bermutu pada masa akan datang." "Pembukaan Institusi Pendidikan di Bawah KPM Penggal 3, 2021/2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPUTRAJAYA- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah merujuk kenyataan media bertarikh 24 Disember 2021 lalu berkaitan dengan Sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022. Sehubungan dengan itu, KPM memaklumkan bahawa operasi institusi pendidikan bawah KPM di seluruh negara bagi Penggal 3, 2021/2022 bagi Sekolah Rendah Murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Prasekolah, Tahun 1, Tahun 2, Tahun 6 serta semua murid bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) perlu hadir secara bersemuka tanpa penggiliran.\nBagi murid Tahun 3, Tahun 4 dan Tahun 5 pula, murid perlu hadir secara penggiliran. Semua ketetapan ini terpakai kepada murid sekolah swasta dan antarabangsa yang setara dengan sekolah rendah KPM. Sekolah Menengah MBK di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK), Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan PPKI perlu hadir secara bersemuka tanpa penggiliran. Murid kelas peralihan, Tingkatan 4, Tingkatan 5, Tingkatan 6, prauniversiti, International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) serta kelas peperiksaan antarabangsa yang setara hadir secara bersemuka tanpa penggiliran sekiranya kadar vaksinasi lengkap dalam kalangan kumpulan murid tersebut di institusi berkenaan telah mencapai 90 peratus atau lebih.\nOperasi institusi pendidikan yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih kekal secara penggiliran. KPM akan mengeluarkan senarai institusi yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus pada setiap hari Rabu. Mana-mana institusi pendidikan yang telah mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus akan dikeluarkan daripada senarai tersebut dan institusi boleh mula beroperasi pada hari Ahad atau Isnin pada minggu berikutnya tanpa penggiliran. Sementara itu, bagi murid Tingkatan 1, Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 pula, kehadiran mereka adalah secara penggiliran. Semua ketetapan ini terpakai kepada murid sekolah swasta dan antarabangsa yang setara dengan sekolah menengah KPM.\nSekolah Enrolmen Kurang 300 Murid KPM juga telah menetapkan bahawa sekolah harian dan sekolah swasta, termasuk sekolah ekspatriat yang mempunyai enrolmen kurang daripada 300 orang murid beroperasi sepenuhnya dengan kehadiran secara bersemuka tanpa penggiliran. Bagi sekolah ekspatriat dengan enrolmen melebihi 300 orang murid pula, permohonan boleh dikemukakan kepada KPM untuk beroperasi sepenuhnya. KPM akan membuat penilaian sebelum kelulusan diberikan.\nSekolah Berasrama Sepenuhnya Murid Tingkatan 4, Tingkatan 5, Tingkatan 6, prauniversiti, IBDP dan kelas peperiksaan antarabangsa yang setara perlu hadir secara bersemuka tanpa penggiliran. Murid Tingkatan 1, Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 di sekolah berasrama sepenuhnya mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).\nKolej Vokasional, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru, bagi murid Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Kemahiran Malaysia, Sistem Latihan Dual Nasional dan Diploma Vokasional Malaysia memerlukan kehadiran secara bersemuka tanpa penggiliran mulai 9 Januari 2022. Bagi pembukaan kolej matrikulasi (KM), pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka bermula pada 9 Januari 2022 untuk Program Matrikulasi Sistem Dua Semester dan Program Matrikulasi Sistem Empat Semester. Bagi Institut Pendidikan Guru (IPG) pula, semua program pengajian akan memulakan kuliah secara bersemuka mulai 6 Februari 2022, mengikut kalendar akademik yang sedang berkuat kuasa.\nHanya pelajar KM dan IPG yang telah menerima vaksin lengkap sahaja dibenarkan kembali ke kolej/kampus, selaras dengan Garis Panduan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi. Pelajar juga dibenarkan memakai pakaian yang sesuai dan kemas serta sopan jika pakaian seragam yang ada tidak lagi sesuai dipakai. Selain itu, sekiranya ibu bapa atau penjaga memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah, ketidakhadiran tersebut tidak dianggap sebagai satu kesalahan disiplin. Ibu bapa atau penjaga yang berhasrat untuk berbuat demikian perlu memaklumkan ketidakhadiran murid kepada pihak sekolah bagi tujuan rekod.\nInstitusi Pendidikan Terlibat Banjir KPM akan terus memantau dan mengemas kini senarai institusi pendidikan yang terkesan dengan banjir atau dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Maklumat lanjut mengenai pengoperasian institusi yang terlibat akan dimaklumkan pada 3 Januari 2022, setelah mengambil kira kesediaan untuk beroperasi. KPM juga menyarankan agar ketetapan pengoperasian pendidikan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM. Pada masa yang sama, KPM berikrar untuk sentiasa komited dan melakukan yang terbaik kepada seluruh pelajar." "Belajar daripada Bencana Banjir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nEsok kita akan menyambut tahun baharu 2022, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), pada pagi 1 Januari 2022, diramalkan hujan atau ribut di beberapa buah kawasan di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah.\u00a0\nPada sebelah petang pula diramalkan hujan atau ribut petir di beberapa buah kawasan di Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah. Sementara itu, hujan atau ribut petir dijangka melanda di beberapa buah kawasan di Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Labuan.\u00a0\nPada malam pula, diramalkan hujan atau ribut petir di beberapa buah kawasan di Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah. Di Melaka dan Sarawak pula diramalkan hujan di beberapa buah kawasan.\u00a0\nRamalan ini dikeluarkan MetMalaysia beberapa hari sebelum tahun baharu menjelang tiba. Tujuannya tidak lain tidak adalah untuk memaklumkan kepada penduduk di kawasan yang terlibat agar bersedia dengan sebarang kemungkinan\u00a0 dan berwaspada dengan ramalan yang dimaklumkan.\u00a0\nPersoalannya sejauhmanakah hebahan dan pemakluman ini benar-benar diambil peduli oleh rakyat, difahami, dan kita bersedia dengan merancang tindakan \u00a0yang selanjutnya?\u00a0\nAda pihak yang mengaitkan bahawa kerosakan harta benda akibat banjir luar biasa yang melanda di beberapa buah kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur pada 18 Disember lalu sebagai berpunca daripada tindakan tidak peka terhadap ramalan yang dibuat oleh MetMalaysia.\nTernyata kenyataan tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada warga siber yang rata-ratanya turut mengaitkan kemusnahan harta benda dan korban nyawa akibat banjir terburuk di Selangor dan Kuala Lumpur itu berpunca daripada pelbagai faktor yang lain.\u00a0 Ada juga pihak\u00a0 yang lebih gemar\u00a0menunding jari dan mencari \u201cpesalah\u201d dalam bencana ini. Walhal, tatkala kebanyakan mangsa banjir belum lagi pulih daripada trauma, gangguan emosi dan mental akibat banjir, mereka terpaksa pula membina semula kehidupan baharu pascabanjir. Maka itu, penyelesaian tidak akan ternoktah jika semua pihak masih menyalahkan antara satu dengan lain. Sewajarnya, semua pihak tanpa berkecuali perlu belajar daripada bencana yang melanda.\u00a0\nBelajar yang dimaksudkan adalah meliputi \u2013 sebelum bencana melanda, ketika bencana melanda dan selepas bencana melanda. Hal ini dikatakan demikian kerana mahu atau tidak, fenomena banjir pada setiap tahun tidak akan dapat dielakkan. Maka itu, amat penting untuk kita belajar agar penduduk dan negara ini berjaya menguruskan banjir dengan sebaik-baiknya. Peningkatan jumlah penduduk, pembangunan yang berterusan dan kedegilan sesetengah pihak yang masih mencemarkan sungai, menjadikan kita sukar untuk keluar daripada bencana ini pada masa akan datang.\nMaka itu, jalan yang terbaik adalah dengan memastikan negara dapat mengurangkan risiko banjir dengan sebaik-baiknya. Sekali lagi, marilah kita bersama-sama menoleh usaha yang dilakukan oleh beberapa buah negara yang menjadikan bencana banjir sebagai tarikh terpenting dalam kalendar kehidupan mereka. Meskipun ramalan banjir bukan 100 peratus tepat, tetapi mereka 100 peratus telah bersedia.\nBelanda misalnya, negara yang sejak ratusan tahun dahulu diancam banjir telah mengambil serius akan aspek taburan hujan yang banyak dan peningkatan paras air dunia akibat pemanasan global. Lantaran itu,\u00a0 Netherlands yang 50 peratus tanahnya berada di atas paras laut telah berusaha keras dengan mempertingkat aspek kejuruteraan pengurusan air. Negara ini turut memperkenalkan konsep \u201cruang aliran untuk sungai\u201d dengan memberikan ruang yang lebih banyak untuk laluan air. Sebelum itu, Netherlands membina banyak sekatan sungai dan memperkukuh benteng di sepanjang sungai, namun tindakan itu gagal menyekat banjir daripada melanda. Kerajaan negara itu juga mengajak rakyatnya untuk hidup bersama-sama limpahan air yang sukar dijangka dan bukannya berlawan dengan bencana tersebut.\u00a0\nTidak cukup dengan itu, negara itu turut memperlahankan proses pembangunan di kawasan tanah rendah dan memantapkan sistem amaran yang lebih berkesan supaya orang awam serta pihak pengurusan banjir lebih bersedia dengan bencana yang akan datang.\u00a0 Hasilnya, mereka berupaya menguruskan banjir dengan amat berkesan dan kebanyakan pakar dari negara tersebut memaklumkan bahawa kejayaan mereka menguruskan banjir adalah dengan formula,\u00a0memberikan perhatian yang serius terhadap dua perkara, iaitu situasi semasa dan sistem perlindungan banjir.\u00a0\nBagi Jepun pula, pengurusan banjir di negara tersebut disifatkan sebagai antara yang terbaik di dunia. Hal ini dikatakan demikian kerana Jepun telah mengaplikasikan teknologi alihan air banjir bawah tanah (MAOUDC); mengeluarkan amaran awal banjir, iaitu beberapa hari sebelum jangkaan bencana berlaku. Amaran ini diperhebat dalam semua media sosial di negara tersebut dan di radio serta televisyen. Jepun juga mengeluarkan statistik kemusnahan yang membolehkan orang awam lebih bersedia terhadap sebarang kemungkinan yang bakal berlaku; amaran menerusi telefon pintar, iaitu kerajaan menghantar sistem pesanan ringkas sebagai peringatan kepada penduduk yang terlibat; pengumuman ramalan banjir dengan menggunakan pembesar suara di kawasan pedalaman; dan pasukan penyelamat yang sentiasa bersedia di lapangan.\u00a0 Semua ini membolehkan Jepun bukan sahaja dapat menguruskan banjir dengan efisien, tetapi turut \u00a0mengurangkan risko kemusnahan harta benda awam dan orang perseorangan.\u00a0\nBeralih kepada Malaysia, banyak pihak di negara ini menarik nafas lega apabila sehari sebelum tahun 2021 melabuhkan tirainya, kerajaan menerusi Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Dr. Zaini Ujang, mengumumkan bahawa\u00a0 sistem amaran Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di seluruh negara akan mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2022.\u00a0\nBeliau berkata, sistem tersebut akan memberikan amaran dengan membunyikan siren seawal dua hari sebelum berlakunya banjir dan pengumuman ramalan banjir, iaitu tujuh hari sebelum bencana itu dijangka berlaku.\n\u201cSetakat ini, sistem ini digunakan di lembangan sungai di Pahang, Kelantan dan Terengganu dengan ketepatan sebanyak 95 peratus. Pada\u00a0tahun 2022, sistem ini akan melibatkan lembangan sungai di Sungai Klang dan Sungai Langat. Pada ketika ini, di Pulau Pinang, Kedah dan negeri utara yang lain sedang dalam fasa uji kaji,\u201d katanya.\nDalam pada itu, Datuk Seri Dr. Zaini turut menjelaskan bahawa sejumlah 120 kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh negara yang akan memaparkan situasi masa sebenar banjir kepada umum akan turut beroperasi pada tahun 2022.\u00a0CCTV tersebut menurutnya, akan diletakkan di stesen pemantauan aras air sungai yang terletak di lembangan sungai yang terlibat.\nDiharapkan dengan usaha ini akan dapat terus membantu negara untuk menguruskan banjir dengan sebaik-baiknya. Banyak negara telah memanfaatkan teknologi dalam meminimumkan risiko banjir dan hasilnya telah dibuktikan oleh banyak negara maju di dunia." "Pengoperasian Sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022 bagi Kelantan dan Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Berhubung dengan pembukaan sekolah bagi Sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM adalah melibatkan institusi pendidikan di seluruh negara, termasuklah di Kelantan dan Sarawak yang akan beralih kepada fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 3 Januari 2022.\nBagi negeri Kelantan, pengoperasian pembukaan institusi pendidikan di bawah KPM akan bermula pada 9 Januari 2022, manakala di negeri Sarawak pada 10 Januari 2022, mengikut ketetapan fasa di bawah PPN.\nJelas KPM, pengoperasian dan kehadiran murid adalah berdasarkan ketetapan yang diumumkan melalui kenyataan media KPM yang bertarikh 31 Disember 2021, dengan mengambil kira kesediaan institusi pendidikan di Kelantan dan Sarawak untuk memulakan pengoperasian mengikut tarikh pembukaan sekolah tersebut.\nBagi memastikan keadaan sentiasa terkawal, KPM akan terus memantau dan mengemas kini senarai institusi pendidikan yang terjejas akibat bencana banjir atau dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Maklumat lanjut mengenai pengoperasian institusi terlibat akan dimaklumkan pada 3 Januari 2022, setelah mengambil kira kesediaan untuk beroperasi.\nPada masa yang sama, KPM turut memberikan saranan agar ketetapan ini diguna pakai pada semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuklah institusi pendidikan bawah kerajaan negeri." "MEDAC Tawar Moratorium Bantu Usahawan PMKS Terjejas Banjir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bersetuju untuk memberikan moratorium kepada usahawan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana\u00a0 (PMKS) yang mendapat pembiayaan di bawah MEDAC rentetan bencana banjir yang terus melanda negara baru-baru ini.\nHal ini seiring dengan iltizam Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, yang prihatin dan berharap agar sektor PMKS dapat dipulihkan dan usahawan PKS dapat kembali beroperasi seperti sedia kala secepat mungkin.\nAntara bank dan agensi yang menawarkan moratorium ini, termasuklah Bank Rakyat, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), SME Bank dan SME Corp.\nBank Rakyat memberikan penangguhan selama enam bulan bagi usahawan membuat pinjaman melalui Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i dan penangguhan bayaran keuntungan bagi Pajak Gadai-i.\u00a0PUNB juga memberikan penangguhan bagi tempoh yang sama bergantung kepada tahap kesan banjir yang dihadapi oleh usahawan PMKS.\nManakala SME Bank memberikan pengecualian sewaan selama dua bulan kepada penyewa di kompleks perniagaan usahawan SME Bank, serta menawarkan penjadualan semula, di samping menawarkan Dana Pemulihan Bencana dengan jumlah pembiayaan sehingga RM500 ribu dalam tempoh enam bulan moratorium.\nSME Corp. pula menawarkan tiga pakej pembiayaan, iaitu SME Revitalisation Financing (SMERF), Soft Loan Scheme For Small and Medium Enterprise (SLSME) dan SME Emergency Fund (SMEEF) untuk semua PKS yang terjejas akibat bencana banjir dalam sektor ekonomi.\nPakej pembiayaan ini dapat membantu mereka membeli peralatan, membaik pulih premis perniagaan dan bertindak sebagai dana modal untuk permulaan perniagaan.\nPakej-pakej ini diberikan moratorium pembayaran balik sehingga enam bulan dan bagi peserta, tiga program sedia ada ini akan diberikan moratorium selama tempoh yang sama, iaitu sehingga Jun 2022.\nDalam usaha mengukuhkan sektor industri, kerajaan terus komited untuk memastikan bantuan dapat disediakan bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutamanya dalam situasi ketika ini yang benar-benar memerlukan bantuan." "Kesiapsiagaan Pekerja Hadapi Situasi Kecemasan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur membuat kunjungan hormat ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai tanda kerjasama dan sedia duduk bersama-sama agensi untuk membincangkan hal berkaitan dengan aspek keselamatan pekerja.\nPertemuan yang berlangsung selama kira-kira sejam berkisar tentang bentuk kerjasama yang boleh diusahakan secara bersinergi antara pihak DBP dengan JBPM Kuala Lumpur untuk keselamatan dan kesiapsiagaan pegawai DBP menghadapi situasi kecemasan seperti kebakaran, kecederaan, kemalangan dan bencana alam.\nMenurut Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Salehuddin Abg Shokeran, pegawai kurang didedahkan dengan ilmu pengetahuan dan teknik yang betul dalam mengendalikan peralatan bantuan kecemasan, seperti penggunaan alat pemadam api ketika berlakunya kebakaran di pejabat, meskipun peralatan tersebut telah disediakan.\n\u201cLatihan kecemasan adalah sangat penting untuk memastikan para pegawai tidak panik dan mampu mengawal diri dalam keadaan cemas, serta bertindak dengan betul dalam usaha menyelamatkan diri masing-masing,\u201d kata YBhg. Datuk Abang Salehuddin.\nMenerusi pertemuan ini, Timbalan Pengarah JBPM Kuala Lumpur, YBrs. PPjB Rozihan Anwar Mamat mengatakan bahawa setiap bangunan perlu melakukan Pelan Tindak Balas Kecemasan (Emergency Response Plan atau ERP) untuk memberikan pendedahan kepada pekerja mengenai langkah keselamatan sekiranya berada dalam kes kemalangan atau kecemasan yang sebenar.\nSelain itu, pihak pengurusan dan pentadbiran bangunan perlu membuat pemantauan secara berkala pada alat pemadam api, laluan kecemasan, lampu keluar, pintu keselamatan dan jeriji di tingkat atas bangunan. Hal ini dikatakan demikian kerana perkara ini penting untuk memastikan premis tersebut selamat diduduki.\n\u201cSebanyak 38 video pendek telah dimuat naik ke dalam saluran YouTube oleh pasukan JBPM untuk dijadikan sebagai panduan kepada pekerja, termasuklah masyarakat tempatan agar lebih cakna terhadap isu yang melibatkan aspek keselamatan diri,\u201d kata YBrs. PPjB Rozihan Anwar.\nTambah beliau, kempen kesedaran yang melibatkan media juga perlu dilakukan untuk menyampaikan mesej keselamatan diri dan langkah pengurusannya. Hal ini secara tidak langsung berupaya mengetengahkan fungsi pasukan penyelamat bomba kepada masyarakat umum.\nOleh hal yang demikian, YBhg. Datuk Abang Salehuddin memaklumkan bahawa DBP sangat positif dan menyambut baik segala usaha yang dijalankan oleh JBPM untuk memberikan pendedahan ilmu dan teknik pengurusan kecemasan, selain daripada memastikan keselamatan pekerja dan premis sentiasa dalam persekitaran yang selamat dan terjamin.\nKunjungan pertemuan pada petang tadi turut dihadiri oleh Pegawai Perhubungan Awam JBPM Kuala Lumpur, PPgB Mohammad Nu\u2019aim \u2018Izzuddin Mohammad Hanafiah.\nTurut serta dalam pertemuan tersebut ialah Ketua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani Omar; Ketua Akademi DBP, Dr. Haji Santrol Abdullah; Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Encik Sharrul Rizal Hashim; Ketua Bahagian Keselamatan, Encik Mohd Syafik Mad Badri; dan pegawai-pegawai kanan DBP dari Bahagian Pentadbiran Am, Bahagian Promosi dan Pengiktirafan serta Bahagian Penguatkuasaan.\nMengulas lebih lanjut, YBhg. Datuk Abang Salehuddin merakamkan penghargaan atas kerjasama yang diberikan dan turut mengharapkan pihak JBPM agar dapat melaksanakan pemeriksaan pada bangunan DBP walaupun dalam tempoh pascapandemik ini." "Status Terkini Institusi Pendidikan Bawah KPM yang Terjejas Akibat Banjir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ingin memaklumkan bahawa status institusi pendidikan KPM yang terkesan dengan banjir sehingga 3 Januari 2022 adalah seperti berikut:\ni) 18 institusi pendidikan yang melibatkan 16 sekolah rendah dan 2 sekolah menengah masih dinaiki air.\n(ii) 87 institusi pendidikan masih dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).\n(iii) 8 institusi pendidikan yang terjejas akibat banjir dan belum bersedia untuk beroperasi.\nBerdasarkan kenyataan media KPM bertarikh 24 Disember 2021, tarikh permulaan sesi persekolahan bagi Penggal 3, 2021/2022 adalah pada 9 Januari 2022 bagi negeri Kumpulan A dan 10 Januari 2022 bagi negeri Kumpulan B. Namun demikian, bagi institusi pendidikan bawah KPM yang terjejas akibat banjir seperti di Lampiran 1, Lampiran 2 dan Lampiran 3, pengoperasian hanya akan bermula setelah institusi pendidikan terlibat sedia untuk beroperasi.\nKPM akan terus memantau dan mengemas kini senarai institusi pendidikan yang dilanda banjir atau yang dijadikan sebagai PPS pada setiap hari Rabu. Perubahan senarai yang dikeluarkan oleh KPM adalah tertakluk kepada situasi semasa bencana banjir. Justeru, mungkin terdapat pertambahan atau pengurangan bilangan institusi pada setiap minggu. Senarai ini boleh diakses melalui laman sesawang KPM https://www.moe.gov.my/.\nBagi institusi pendidikan yang telah selesai dibersihkan dan bersedia untuk kembali beroperasi, pengoperasian institusi pendidikan ini akan bermula pada hari Ahad atau Isnin minggu persekolahan berikutnya.\nInstitusi pendidikan bawah KPM adalah merujuk kepada sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi, institut pendidikan guru dan terpakai kepada sekolah swasta yang berdaftar bawah KPM." "Indeks Nilai Dagangan Malaysia Rekod Pertumbuhan Positif\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Indeks Perdagangan Luar Negeri (2010=100) bagi bulan November 2021 melaporkan indeks nilai seunit eksport dan import bulanan negara meningkatkan, iaitu 1.3 peratus dan 1.0 peratus masing-masing.\nLaporan ini memaparkan statistik bagi indeks nilai seunit dan indeks volum mengikut seksyen bagi aktiviti eskport dan import barangan.\nDato\u2019 Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia berkata, peningkatan indeks nilai seunit eksport tersebut disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+5.4 peratus), minyak, lemak binatang dan sayur-sayuran (+1.1 peratus), serta alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+0.4 peratus).\nManakala, indeks volum eksport didapati menyusut sebanyak 3.2 peratus pada November 2021 kerana kejatuhan indeks barang-barang keluaran kilang (-12.1 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-4.7 peratus), serta minyak galian (-3.5 peratus).\nNamun begitu, indeks volum eksport pelarasan bermusim meningkat sebanyak 6.3 peratus daripada 152.6 mata kepada 162.2 mata dan kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport menunjukkan pertumbuhan positif berbanding dengan tahun sebelumnya, iaitu 16.8 peratus dan 13.5 peratus masing-masing.\nSelain itu, Dato\u2019 Sri Dr. Mohd Uzir turut mengumumkan bahawa indeks nilai seunit import meningkat sebanyak 1.0 peratus pada November 2021, rentetan kenaikan indeks bagi minyak dan lemak binatang, serta sayur-sayuran (+10.3 peratus), minyak galian (+4.5 peratus), serta alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+0.4 peratus).\nSementara itu, indeks volum import turut menunjukkan peningkatan sebanyak 4.8 peratus kerana kenaikan indeks barang-barang keluaran kilang (+12.6 peratus), bahan kimia (+12.4 peratus) dan alat jentera serta kelengkapan pengangkutan (+4.4 peratus).\nIndeks volum import pelarasan bermusim pula mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.8 peratus daripada 159.5 mata kepada 168.7 mata setakat November 2021 dan kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import telah meningkat, iaitu masing-masing sebanyak 8.7 peratus dan 27.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.\nTambahan lagi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) juga melaporkan bahawa terma perdagangan Malaysia berkembang sebanyak 0.3 peratus dari bulan ke bulan sebanyak 107.0 mata pada bulan November 2021 yang turut mengekalkan prestasi Malaysia pada 7.5 peratus daripada 99.6 mata." "Sambutan Hari Braille Sedunia 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bersempena dengan sambutan Hari Braille Sedunia 2022, Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) mengambil inisiatif melakukan pelbagai program dan aktiviti seperti pameran pelbagai bentuk untuk menunjukkan peri pentingnya penggunaan braille dalam kehidupan seharian orang buta.\nDalam ucapan perasmian bersempena dengan sambutan tersebut, YBhg. Datin Sri Hajah Nor Zamani Abdol Hamid, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia mengatakan bahawa tulisan braille amat penting kepada golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan kerana melalui tulisan tersebut mereka dapat mengakses bahan bacaan dengan lebih baik. Ujar YBhg. Datin Sri Hajah Nor Zamani dengan hasrat penekanan pendidikan diberikan seawal usia di sekolah:\nHal ini merupakan elemen penting dalam pemerkasaan dan kejayaan mereka. Penggunaan braille berupaya membantu mereka untuk keluar daripada kepompong tidak boleh membaca, apatah lagi untuk berjaya menjadi masyarakat yang profesional.\n\u00a0\nMenurut Encik George Thomas, Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Hari Braille Sedunia disambut pada 4 Januari setiap tahun adalah untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat akan kepentingan braille sebagai medium komunikasi dalam pengiktirafan hak asasi manusia kepada OKU penglihatan.\nBraille, dinamakan sempena penciptanya pada abad ke-19 Perancis, iaitu Louis Braille. Braille digunakan oleh orang buta dan OKU penglihatan untuk membantu mereka dalam urusan seharian.\n\u201cStatistik sedunia menunjukkan 1 daripada 10 orang boleh membaca braille. Kami berharap agar bilangan ini terus bertambah dengan hadirnya sistem pendidikan khas dan sistem pendidikan di Malaysia,\u201d kata Encik George Thomas.\nPada tahun 1829, Louis Braille telah mengubah suai sistem kod 12 digit tersebut kepada 6 digit sahaja agar pergerakan tangan dan pemahaman yang lebih baik terhadap OKU penglihatan.\nPengubahsuaian 6 digit ini menjadi penting dari segi sejarah apabila Braille meletakkan asas ini untuk orang cacat penglihatan dan perkara tersebut kekal sehingga ke hari ini.\nSehubungan dengan itu, YBhg. Datin Sri Hajah Nor Zamani turut mengatakan bahawa KPM komited memberikan pendidikan kepada seramai 2617 orang Murid Berkeperluan Khas (MBK) Penglihatan yang berdaftar di sekolah dari peringkat prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan selepas peringkat sekolah menengah. Guru yang mengajar MBK penglihatan perlu mempunyai kemahiran dari segi penggunaan braille, termasuklah membaca dan menterjemahkan tulisan braille.\nMengulas lebih lanjut, KPM turut menghasilkan buku teks pendidikan khas braille bagi mengoptimumkan potensi MBK dan proses pengajaran dan pembelajaran. Pada masa yang sama, KPM turut membekalkan mesin braille untuk penggunaan MBK kurang upaya penglihatan dalam apa-apa jua situasi, termasuklah situasi pandemik COVID-19.\nMengakhiri majlis pada pagi ini, YBhg. Datin Sri Hajah Nor Zamani mengucapkan syabas kepada semua pihak, khususnya MAB yang meneruskan inisiatif murni ini.\n\u201cTanpa usaha yang ikhlas, dedikasi dan keringat yang telah anda curahkan kejayaan hari ini, dan seterusnya tentu sekali sukar untuk kita peroleh,\u201d kata beliau.\nTurut serta dalam program ini ialah YBhg. Datin Fauziah Mohd Ramly, Naib Presiden MAB, Puan Hajah Salmah Jopri, Pengarah Bahagian Pendidikan Khas KPM dan tetamu kehormat yang lain." "Parti dan Landskap Politik Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKelahiran parti-parti politik dalam landskap politik negara sememangnya memberikan ruang ke arah penyuburan demokrasi di negara kita. Hal ini dikatakan demikian kerana, dengan bertambahnya parti-parti politik yang mempunyai agenda dan dasar yang berbeza antara satu sama lain, lebih memberikan ruang memilih kepada rakyat, mengikut kecenderungan, minat, keperluan dan kehendak setiap individu rakyat itu sendiri.\nPopulasi di Malaysia pada saat ini yang berjumlah lebih 32 Juta dengan hampir 68 peratus daripadanya ialah kaum Melayu Bumiputera.\n\nSecara teknikalnya, populasi sebanyak 68\u00a0 peratus ini jelas memberi makna bahawa landskap politik negara didominasi oleh kaum Melayu dan Bumiputera. Walau bagaimanapun, perkara ini tidak berlaku secara praktikal apabila kelahiran parti-parti politik yang berorientasikan kaum Melayu dan Bumiputera terlalu banyak. Apabila wujudnya parti-parti Melayu dan Bumiputera yang begitu banyak mengakibatkan undi kaum Melayu dan Bumiputera juga berpecah, sekali gus menjadikan suara mereka dalam landskap politik negara menjadi \u201cminoriti dalam majoriti\u201d.\nSebagai kaum terbesar di negara yang berbilang kaum seperti Malaysia, kaum Melayu dan Bumiputera perlu mendominasi panggung politik negara melebihi dua pertiga sebagaimana populasi bagi melahirkan kestabilan negara. Kegagalan sesebuah kaum terbesar mendominasi politik dan ekonomi di sesuatu negara hanya akan menatijahkan ketidakstabilan dan perasaan tidak puas hati kerana menganggap suara majoriti mereka tidak mendapat tempat yang sewajarnya. Tragedi 13 Mei 1969 yang pernah berlaku di Malaysia disebabkan faktor kegagalan kaum Melayu dan Bumiputera menguasai sektor ekonomi selain politik Melayu dan Bumiputera yang mula menunjukkan bibit-bibit perpecahan kerana adanya berbagai parti yang berteraskan Melayu dan Bumiputera.\nHakikat yang sedang dialami oleh negara pada ketika ini menunjukkan begitu banyak parti-parti politik Melayu dan Bumiputera yang tumbuh ibarat cendawan selepas hujan dengan membawakan pelbagai agenda dan ideologi yang berbeza atas nama demokrasi. Benar, demokrasi sememangnya membenarkan percambahan pelbagai parti politik bagi memperjuangkan agenda rakyat, namun demokrasi perlu diuruskan dengan sebaik-baiknya. Ibarat sebilah pisau yang mempunyai pelbagai kegunaan, namun jika silap penggunaannya pasti akan melukakan tangan.\nPopulasi yang berjumlah kurang lebih 68 peratus ini telah dipecahkan dengan sekurang-kurangnya enam buah parti politik yang bertunjangkan Melayu dan Bumiputera dan hal ini hanya merugikan keutuhan dan kesepaduan kaum Melayu dan Bumiputera. \nJika dibahagikan secara sama rata, setiap parti politik hanya akan mendapat sokongan hanya 11.3 peratus daripada populasi kaum Melayu dan Bumiputera sekiranya satu daripada parti-parti politik tersebut gagal mendapatkan sekurang-kurangnya 51 peratus kemenangan \u00a0dalam pilihan raya. Dengan ini, jelaslah bahawa kelahiran parti-parti baharu dalam landskap politik negara sememangnya membawa lebih kemeriahan terhadap landskap politik negara,namun pada masa yang sama mencetuskan lebih banyak perpecahan kepada dominasi kaum Melayu dan Bumiputera dalam sistem politik negara.\nOleh hal yang demikian, dengan adanya lambakan parti-parti politik yang mempertaruhkan pelbagai dasar, ideologi dan agenda masing-masing, rakyat sebagai aktor penentu kepada kestabilan politik negara perlu diberikan literasi dan sosialisasi politik yang bijak dan matang agar kestabilan politik sebagai kunci utama kepada kemakmuran ekonomi dan sosial negara akan terus terjamin. Kuncinya kita perlu mempersiapkan diri dengan ilmu dan bukan bersandarkan dengan sentimen semata-mata." "Raja Muda Perlis Menyantuni Asnaf di Padang Katong\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyeru rakyat agar mempertingkatkan lagi potensi dan kekuatan diri dalam mendepani pelbagai cabaran pada masa akan datang berbanding dengan tahun 2021, seiring dengan peralihan ke arah digitalisasi.\nDigitalisasi menjadi satu ruang untuk masyarakat terus berhubung walaupun menghadapi bencana, seperti pandemik dan banjir selain daripada memberi peluang kepada mereka yang terjejas untuk mendapatkan pendapatan melalui platform digitalisasi.\nBaginda turut bertitah bahawa masyarakat kini juga didapati sudah pun dan semakin berani menggunakan pendekatan dalam talian sebagai medium untuk mencari rezeki dan memudahkan segala urusan dalam kebiasaan baharu ini.\nTuanku Raja Muda menzahirkan rasa bangga apabila teknologi sistem komunikasi digital negara semakin meluas digunakan dan sekali gus dapat menyumbang kepada peningkatan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan digital dalam kalangan rakyat.\nDemikian titah Tuanku Raja Muda Perlis selepas berkenan berangkat menyantuni golongan asnaf, yakni seorang penerima \u201cBantuan Sara Hidup Berkala MAIPs\u201d di Padang Katong, Kangar. Ahmad Hamid, 71 tahun yang tinggal bersama-sama keluarganya disantuni oleh Tuanku Raja Muda dalam penyerahan sumbangan agihan zakat MAIPs.\nTurut hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd. Nazim Mohd Noor." "Ayat Pasif \u201cter\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nDalam ayat-ayat di bawah ini, adakah penggunaan kata ganti diri pertama dalam ayat pasif ter- tersebut gramatis?\nDaripada:\nNarender Kaur,\nBangsar, Kuala Lumpur." "Kualiti Amalan Berbahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2021 memberikan idea kepada BERNAMA TV untuk mendedikasikan slot Ruang Bicara yang bertajuk \u201cBahasa dan Kualiti Insan\u201d. Program yang dikendalikan oleh penyampai, Sherkawi Jirim pada pukul 9.00 malam tadi menampilkan Prof. Dr. Salmah Jan Noor Muhammad (Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia) dan YBhg. Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain (Profesor Madya di Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang, yang juga pengasas Jurisprudens Watan).\nDr. Salmah Jan berkongsi maklumat tentang bahasa Melayu yang berkembang maju dengan pantas sehingga bertaraf bahasa lingua franca ketika era kegemilangan kerajaan pesisir pantai seperti kerajaan Funan, Majapahit dan Srivijaya. Kerajaan pesisir pantai yang berada di lokasi strategik telah memberikan sumbangan besar kepada tumbuhnya kerajaan yang lebih berpengaruh sehingga membentuk empayar yang mentadbir wilayah kerajaan yang lebih luas.\nKesemuanya bertitik tolak daripada sebuah kerajaan yang mempunyai ketatanegaraan yang berdaulat yang dipaksikan oleh bahasa yang menjadi komponen penting dalam menentukan bahasa pentadbiran, bahasa ekonomi dan bahasa rasmi pentadbiran empayar tersebut.\nTambah beliau, empayar Kesultanan Melayu Melaka, Johor-Riau-Lingga dan Kerajaan Kedah ialah tiga empayar yang telah membuktikan kedaulatan bahasa itu berteraskan ketatanegaraan yang berdaulat dan unggul. Empayar yang berdaulat ini mempunyai hubungan diplomatik yang melibatkan urusan pentadbiran kenegaraan, ekonomi dan rakyatnya. Kesemua ini berlangsung dengan megah dan cemerlang disebabkan oleh penggunaan bahasa Melayu dan satu daripada teras dalam ketatanegaraan melalui naskhah atau teks yang dijadikan panduan dalam pentadbiran seseorang raja.\nKajian ketatanegaraan menerusi teks tersebut memang merujuk kualiti insan, iaitu raja yang berkuasa itu ialah raja yang bijaksana dalam menggunakan fikirannya yang sudah tentu memberikan kesan kepada akal dan lidah (bahasa).\nSementara itu, YBhg. Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi menjelaskan bahawa sudah wujud peruntukan undang-undang tentang bahasa seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia. Menerusi perlembagaan ini tegasnya lagi, sudah jelas kedudukan istimewa atau berdaulatnya bahasa Melayu dan sudah tentu polisi baharu yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri dan ditenagakan oleh sokongan semua khususnya Ketua Setiausaha Negara akan dapat merealisasikan usaha mendaulatkan bahasa Melayu ini.\nNamun begitu, negara tetap berdepan dengan cabaran dari sudut kualiti amalan berbahasa kebangsaan. Oleh yang demikian, beliau memberikan saranan agar pendekatan pendidikan diperkasakan atau diupayakan dengan lebih dinamik supaya kualiti amalan berbahasa kebangsaan dalam kalangan Keluarga Malaysia dapat dilaksanakan sepenuhnya.\nTidak sewajarnya masih ada warganegara yang ketika ini tidak boleh berbahasa kebangsaan. Oleh yang demikian, mengupayakan PdP atau kaedah pembelajaran bahasa dengan lebih terancang dan sistematik perlu dilakukan agar generasi seterusnya akan secara automatiknya dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik, begitu juga bahasa asing yang menuntut pelibatan mereka kelak di arena industri masa depan.\nBeliau juga mengesyorkan agar satu semakan secara berkala dilaksanakan di semua peringkat termasuklah dalam kalangan pemimpin kerana kesarjanaan seseorang itu dilihat daripada penguasaan bahasanya yang baik. Teknik penguasaan bahasa perlu diteliti semula agar kaedah yang paling berkesan dapat diaplikasikan kepada rakyat supaya penguasaan bahasa ini tidak dipandang ringan.\nTambahnya, penggubalan Akta DBP akan memperkukuh DBP sebagai badan penguasa bahasa bagi memastikan pematuhan dan pelaksanaan amalan berbahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan." "Perjuangan Kampung \u201cMetropolitan\u201d Terakhir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKampung Baru, Kuala Lumpur; jika disebut namanya mengingatkan kita pada sebuah perkampungan terakhir yang senasib di tengah-tengah kota metropolitan Singapura, Kampong Lorong Buangkok yang diwujudkan pada tahun 1954.\nDi sebalik mamahan arus pemodenan di kawasan sekitarnya, kampung tersebut turut berada dalam fasa \u201cperjuangan\u201d demi mengekalkan warisan sejarahnya. Kampung Baru, bukanlah berdiri atas nama dan lapangan geografi semata-mata, malah nilai lingkungan persejarahan menjadi asbab keperluan untuk mempertahankannya. Seraya lenyapnya kampung ini, maka tinggallah sisa sejarah ekologinya yang hanya tergambar pada sekeping foto.\nSejarah panjang Kampung Baru yang sebahagiannya menjadi latar persejarahan negara harus diletakkan dalam lingkungan pemeliharaan warisan (heritage preservation). Jika diteliti, sebahagian sejarah besar negara turut berkaitan rapat dengan kampung bertuah ini. Semasa era penjajahan British, Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru menjadi saksi Perhimpunan Kongres Melayu pertama bagi menggagalkan penubuhan Malayan Union. Begitu juga dengan peristiwa pahit yang sarat dengan pengajaran, iaitu tragedi 13 Mei 1969 yang turut bersaksikan Kampung Baru sebagai latar tempat yang signifikan.\nRealitinya, latar historikal inilah sebenarnya yang menjadikan Kampung Baru benar-benar bernilai tinggi, terutamanya dalam konteks legasi patrimoni dengan kota metropolitan Kuala Lumpur yang menjadi sebahagian daripada salasilahnya.\nTanah kurniaan Sultan Alauddin Sulaiman Syah Raja Muda Musa (Sultan Sulaiman) tersebut kini menjadi satu-satunya warisan peninggalan sejarah selepas Kampung Kerinci (kini Bangsar South) dan Kampung Abdullah Hukum (kini KL Eco City) diranapkan oleh arus pembangunan.\nKonotasi literal bagi sebuah pembangunan jarang-jarang sekali membawa pemaknaan yang negatif. Walau bagaimanapun, sisi tersiratnya kurang mencerminkan sebuah untaian kondusif kepada sesebuah nilai sejarah. Arus pembangunan menyaksikan wujudnya pemadaman total terhadap identiti asal kawasan tersebut sama ada dalam kerangka warisan, budaya mahupun ekologinya. Lantas, namanya sekalipun mungkin dihapuskan melalui penjenamaan semula atas alasan bagi memenuhi nilai komersial.\nSeyogia diingatkan, pembangunan dan kemodenan bukanlah satu-satunya kaedah dalam mencapai kemodenan. Jika imej Kampung Baru dikatakan sebagai memburukkan imej bandar raya Kuala Lumpur yang moden, laksanakanlah proses pemeliharaan berbanding dengan proses \u201cmengkonkritkan\u201d kawasan tersebut.\nKonsep kampung yang begitu unik di tengah-tengah metropolitan ini lebih strategik sekiranya dikekalkan atau setidak-tidaknya melalui transisi penyegaran semula.\nPeninggalan seni bina tradisional berlatarbelakangkan menara berkembar Petronas yang tentunya menjadi latar tumpuan pelancong berbanding dengan norma klise moden seperti kompleks membeli-belah. Ditambah pula dengan persekitaran Kampung Baru yang kaya dengan gerai makanan, kurniaan ini menjadi satu pakej lengkap dalam usaha menjadikannya sebagai pusat pelancongan yang prolifik. Janaan ini memberi impak sosioekonomi kepada masyarakat setempat mahupun makroekonomi melalui kemasukan pelancong. Yang terpenting, nilai historinya kekal terpelihara.\nSedari awal, Malaysia kelihatannya kurang berminat untuk mengangkat konsep pemeliharaan warisan. Di negara-negara Barat, pemautan utuh terhadap konsep ini menjelaskan tentang pengekalan kawasan warisan seperti di Toledo, Sepanyol, \u010cesk\u00fdKrumlov, Republik Czech, Bruges, Belgium dan pelbagai lagi. Begitu juga di Asia Timur seperti di China, terdapatnya Kota Purba Lijiang, Yunnan, Kota Purba Pingyao di wilayah Shanxi dan di Jepun pula adanya rumah-rumah tradisional Machiya, Kyoto yang menyumbang berbilion yen pada setiap tahun.\nOleh sebab itu, peliharalah nilai warisan dan sejarah dengan sebaik-baiknya. Contohilah semangat pemuliharaan sejarah sebagaimana yang ditonjolkan oleh negara-negara barat. Dari segi undang-undangnya, Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) digubal bagi memberi perlindungan komprehensif kepada tinggalan warisan negara. Akan tetapi, dari segi implementasi dan penguatkuasaannya masih boleh diperdebatkan dalam jangka waktu yang panjang.\nPada akhirnya, lenyaplah bangunan-bangunan ikonik yang kaya dengan sejarah seperti Penjara Pudu (kini tapaknya dibangunkan hotel dan pusat membeli-belah) mahupun bangunan kolonial di Jalan Sultan Ahmad Shah, Georgetown (kini dibangunkan hotel bertaraf lima bintang) yang hanya mampu diamati oleh generasi selanjutnya melalui sekeping foto digital. Persoalannya, adakah Kampung Baru bakal diletakkan bersama dalam senarai ini? Keputusannya kini di tangan pihak berwajib.\nPenulis, Pensyarah di Centre for Languages and Foundation Studies (CELFOS), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS)." "Stok Buku Teks Mencukupi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMurid yang kehilangan buku teks atau rosak akibat banjir tidak perlu membayar ganti rugi atas kerosakan tersebut mahupun menggantikan buku berkenaan.\nYB Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin, Menteri Kanan Pendidikan berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sedar dalam tempoh banjir besar yang berlaku, ramai murid yang terjejas akibat banjir dan kementerian menerima banyak pertanyaan berkaitan dengan buku teks murid yang rosak akibat bencana alam.\n\u201cUntuk makluman semua, berdasarkan rekod yang ada pada KPM sehingga ke hari ini, sebanyak 263 662 naskhah buku teks telah rosak akibat banjir dengan melibatkan 14 422 orang murid di seluruh negara.\n\u201cBerdasarkan rekod ini, KPM mempunyai stok yang mencukupi untuk menggantikan buku-buku yang rosak bagi membolehkan murid-murid mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran pada minggu depan,\u201d jelas beliau menerusi perkongsian di laman sosial miliknya pada hari ini.\nTambah beliau, guru-guru akan merekodkan jumlah buku teks yang rosak akibat banjir dan KPM akan memastikan usaha untuk menggantikan buku teks dapat dilaksanakan segera bagi membolehkan sesi persekolahan pada minggu hadapan dapat berjalan dengan teratur dan lancar.\n\u201cInsya-Allah, kita doakan semoga semua anak-anak kita yang terjejas akibat banjir dapat mengharungi tempoh yang sukar ini serta dapat kembali ke sekolah apabila sekolah dibuka kelak,\u201d jelas beliau." "Lanjutan Pengecualian Sewaan Kantin Bermula Bulan Ini hingga Jun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013\u00a0Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersetuju melanjutkan pengecualian bayaran sewa kepada pengusaha kantin dan premis dalam sekolah di seluruh negara selama enam bulan bermula bulan ini hingga Jun 2022.\nMenteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, \u201cPengecualian sewaan kantin bagi tempoh enam bulan ini termasuklah penyewa kedai buku dan alat tulis, koperasi, kedai dobi, mesin minuman layan diri (vending machine) yang melibatkan premis di sekolah bawah KPM.\u201d\n\n(Sumber foto: Mohd Azam Juhari)\nYB Datuk Dr. Radzi Jidin mengatakan bahawa langkah ini bakal memanfaatkan lebih daripada 10 000 pengusaha dan penyewa kantin, di samping meringankan beban kewangan mereka.\nJelas KPM dalam kenyataan media pada hari ini, Kerajaan telah menyediakan pelbagai inisiatif bantuan kepada pengusaha kantin sekolah.\nMengulas lebih lanjut selepas membuat tinjauan di Sekolah Kebangsaan Ismail Petra, KPM turut menjelaskan bahawa keputusan ini dibuat selepas mengambil kira pelbagai cabaran terpaksa di hadapi oleh pengusaha terbabit sepanjang tempoh penutupan sekolah akibat pandemik COVID-19." "Penggiliran secara Bersemuka: Pendekatan Progresif KPM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Sesi persekolahan pada hari pertama, penggal ketiga 2021/2022 Kumpulan A di empat buah negeri di Kelantan, Kedah, Terengganu dan Johor yang melibatkan 1.18 juta murid dan pelajar berjalan lancar dan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi dengan baik.\nYB Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin, Menteri Kanan Pendidikan berkata, tinjauan di beberapa buah sekolah di Kota Bharu mendapati murid dan pelajar teruja hadir ke sekolah setelah sekian lama tidak melalui proses pembelajaran secara bersemuka.\n\u201cPendekatan penggiliran ke sekolah secara bersemuka oleh KPM merupakan tindakan progresif dan cermat sebelum membuat sesuatu keputusan,\u201d jelas YB Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin. \n\n(Sumber foto: Mohd Azam Juhari)\nBeliau menjelaskan tempoh pelaksanaan penggiliran itu bergantung pada keadaan semasa COVID-19. KPM seboleh-bolehnya tidak mahu penggiliran dibuat, namun tindakan ini terpaksa dilakukan setelah mengambil kira semua keadaan termasuklah penularan COVID-19 dan varian baharu, Omicron.\nYB Menteri Kanan Pendidikan turut menjelaskan bahawa ibu bapa yang tidak membenarkan anak-anak hadir ke sekolah perlu memaklumkannya kepada pihak sekolah untuk tindakan lanjut oleh pihak Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri bagi memudahkan pihak berkenaan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh murid.\nBeliau turut mengumumkan bahawa KPM juga bersetuju melanjutkan pengecualian sewaan kantin untuk tempoh enam bulan bermula pada Januari hingga Jun 2022.\nPada Julai 2021, KPM telah memberikan pengecualian sewaan kantin dan premis atau ruang bagi tempoh enam bulan hingga akhir 2021 akibat penutupan sekolah.\n\u201cKami menerima banyak permohonan daripada pengusaha kantin yang meminta supaya diberi sekali lagi pengecualian sewaan kantin. Oleh itu, KPM membuat keputusan\u00a0 untuk memberikan pengecualian sewaan selama enam bulan termasuk premis-premis yang berada di dalam sekolah,\u201d jelas beliau yang turut menjelaskan pengecualian sewaan juga diberikan untuk tempoh yang sama bagi sewaan premis, kedai buku, koperasi, kedai dobi dan mesin minuman air di sekolah bawah kelolaan KPM.\nPada masa yang sama, KPM akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk melaksanakan proses vaksinasi kepada murid agar sesi persekolahan dapat dilaksanakan dengan cepat, berkesan, teratur dan selamat. Beliau berkata demikian dalam satu sidang media setelah mengadakan lawatan di sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Kota Bharu bersempena dengan pengoperasian hari pertama persekolahan pada hari ini. Sebelum itu, beliau turut mengadakan lawatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab 1 dan SK Zainab 2 di Kota Bharu, Kelantan." "Misi Sukarelawan MESCA KPM Menyambut Persediaan Pembukaan Sekolah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSegamat \u2013\u00a0Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Persatuan Sukan dan Kebudayaan KPM (MESCA) menggerakkan misi kesukarelawan di dua buah sekolah di Segamat yang terkesan ekoran banjir yang melanda daerah itu baru-baru ini.\nKekuatan pasukan seramai 64 orang yang turut melibatkan pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah Segamat ini membantu membersihkan Sekolah Kebangsaan Kuala Paya dan Sekolah Kebangsaan Pogoh. Bantuan tersebut bertujuan untuk membantu meringankan tugas guru bersempena dengan sesi persekolahan penggal ketiga yang bermula pada hari ini bagi Kategori B.\nRentetan daripada itu, misi ini mendapat perhatian daripada Timbalan Menteri Pendidikan II, YB Datuk Mohamad Haji Alamin. Beliau yang turut turun padang meninjau proses pembersihan ini berkata, usaha yang dilakukan oleh sukarelawan MESCA ini adalah sebagai tanda kebersamaan dan semangat kekitaan demi memastikan pendidikan dapat diteruskan walaupun mengalami musibah banjir.\n\u201cMeskipun sekolah di Johor ini terjejas ekoran banjir, namun pengoperasian pembukaan sekolah tetap bermula seperti biasa, iaitu pada Ahad hadapan,\u201d kata beliau dalam menjelaskan pelanjutan pembukaan sekolah kerana memberikan ruang untuk kerja-kerja pembersihan dilakukan.\nTurut hadir bersama-sama dalam usaha tersebut ialah Timbalan Menteri II, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, iaitu YB Tuan Haji Mazlan Bujang. Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan sukarelawan yang bukan sahaja membantu kerja-kerja pembersihan di kedua-dua buah sekolah ini, malah di sekitar Johor.\nPenghargaan dan junjungan kasih turut dizahirkan kepada Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar atas perkenan menghulurkan bantuan kepada keluarga yang terkesan akibat banjir. Jelas beliau lagi, keprihatinan baginda dalam hal ini menunjukkan rakyat sentiasa menjadi keutamaan di hati Tuanku.\nUcapan tahniah dan keterujaan semangat setiakawan antara \u201csahabat\u201c yang jauh di mata, tetapi dekat di hati\u201c turut dinyatakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datin Sri Hajah Nor Zamani Abdol Hamid.\nUjar beliau, melalui semangat kesukarelawan ini, kita dapat mengeratkan hubungan dan semangat Keluarga Malaysia seperti yang dianjurkan oleh Perdana Menteri Malaysia. Oleh itu, pelibatan berterusan daripada keluarga KPM dalam program seperti ini perlu dipergiat dengan lebih aktif.\nBeliau turut berpesan kepada murid-murid yang terkesan dengan bencana banjir ini agar tidak patah semangat untuk hadir ke sekolah. Hal ini demikian kerana proses mendapatkan pendidikan perlu diteruskan walaupun sedang diuji dengan pelbagai musibah." "Kadar Pengangguran Paling Rendah Sejak April 2020\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bilangan penganggur berkurang bawah daripada 700 ribu orang, iaitu paling rendah sejak April 2020 dengan penurunan sebanyak 1.5 peratus dari bulan ke bulan kepada 694.4 ribu orang berbanding dengan Oktober 2021, 705.0 ribu orang.\nStatistik ini menunjukkan kedudukan tenaga buruh negara kekal stabil pada November 2021 hasil dari usaha kerajaan seperti Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan program vaksinasi, serta pembukaan semula aktiviti ekonomi yang menggalakkan aktiviti merentasi negara. Permintaan buruh juga didapati meningkat, termasuklah sektor berkaitan dengan pelancongan seperti aktiviti penginapan, kesenian, hiburan dan rekreasi.\nKetua Perangkawan Malaysia, Dato\u2019 Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin mengatakan bahawa bilangan penduduk bekerja pada November 2021 terus meningkat selama empat bulan berturut-turut dengan peningkatan 0.4 peratus dari bulan ke bulan mencatatkan 15.61 juta orang berbanding dengan Oktober 2021, 15.55 juta orang. Nisbah guna tenaga kepada penduduk menunjukkan keupayaan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga meningkat sebanyak 0.2 mata peratus kepada 66.0 peratus pada November 2021 (Oktober 2021: 65.8%).\nWalau bagaimanapun, kadar pengangguran pada November 2021 kekal sama (4.3 peratus) kerana jumlah golongan tidak aktif mula mencari pekerjaan semakin meningkat yang ditunjukkan oleh penurunan 0.3 peratus luar tenaga buruh kepada 7.34 juta orang pada bulan tersebut (Oktober 2021: 7.36 juta orang).\nOleh itu, kadar penyertaan tenaga buruh pada November 2021 menunjukkan peningkatan kepada 68.9 peratus (Oktober 2021: 68.8%) dengan bilangan tenaga buruh bertambah sebanyak 0.3 peratus kepada 16.30 juta orang berbanding dengan bulan sebelumnya seramai 16.26 juta orang.\nPembukaan semula aktiviti perniagaan yang berterusan pada November 2021 menunjukkan pertumbuhan positif dalam kategori pekerja merekodkan 12.0 juta orang (Oktober 2021: 11.97 juta orang) serta kategori penduduk bekerja sendiri, 2.63 juta orang (Oktober 2021: 2.61 juta orang) yang sebahagian besarnya terdiri daripada penerima gaji harian yang bekerja sebagai pengusaha perniagaan kecil seperti peruncit, penjaja, penjual di pasar dan gerai, serta pekebun kecil.\nDato\u2019 Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin juga mengulas berkenaan situasi pengangguran pada November 2021 dengan menyatakan bahawa 83.8 peratus dari jumlah penganggur adalah penganggur aktif yang mana telah menunjukkan penurunan sebanyak 1.3 peratus kepada 581.8 ribu orang (Oktober 2021: 589.5 ribu orang).\nSelain itu, kadar pengangguran belia bagi umur 15 hingga 24 tahun menurun sebanyak 0.2 mata peratus kepada 13.7 peratus manakala kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun mencatatkan peningkatan marginal iaitu sebanyak 0.1 mata peratus bulan ke bulan kepada 8.2 peratus (Oktober 2021: 8.1%).\nSecara keseluruhannya, beliau berkata, \u201cKedudukan tenaga buruh Malaysia meningkat secara beransur-ansur sejak Ogos 2021 berikutan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial telah beroperasi seperti biasa dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard yang ketat. Pengoperasian aktiviti tersebut secara berterusan juga akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan seterusnya akan mengukuhkan pasaran buruh pada bulan-bulan yang akan datang. Bencana banjir yang melanda kawasan tengah dan pantai timur negara baru-baru ini dilihat lebih menjejaskan kawasan setempat dan dijangka tidak memberikan impak yang ketara kepada keseluruhan pasaran buruh negara. Selain itu, fasa pemulihan pasaran buruh juga mungkin berdepan dengan cabaran susulan kewujudan varian baharu COVID-19, iaitu Omicron.\u201d" "Karnival Memperkasakan Belia dan Mahasiswa Anjuran Persatuan Pemimpin Muda UM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Persatuan Pemimpin Muda Universiti Malaya (UM) menganjurkan Karnival Pemimpin Muda UM pada 9 Januari 2022 yang merupakan aktiviti utama (flagship activity) peringkat antarabangsa dan dilaksanakan secara dalam talian.\nAntara objektif Karnival Pemimpin Muda UM termasuklah memberikan ruang kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk mengembangkan daya kepimpinan mereka, menyediakan platform kepada semua mahasiswa dan belia untuk berkongsi idea dan buah fikiran dengan mengambil bahagian dalam pelbagai jenis aktiviti karnival, melengkapkan diri dengan kemahiran insaniah, memperoleh peluang untuk mengenali para pemimpin belia dari pelbagai negara dan universiti serta mengeratkan hubungan dalam kalangan ahli-ahli persatuan.\nTerdapat pelbagai acara menarik yang dianjurkan dalam karnival ini seperti sesi sukan dan senam aerobik dalam talian, sesi suai kenal, perhimpunan agung pemimpin belia antarabangsa, sesi persembahan dan debat.\nKarnival ini disertai oleh para pemimpin belia dan pelajar varsiti dari pelbagai negara seperti Singapura, Jepun, China, Thailand, Indonesia dan banyak lagi sehingga mencecah 300 penyertaan. Selain itu, beberapa buah universiti awam dan swasta tempatan turut menyertai karnival ini. Antaranya termasuklah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Monash University dan banyak lagi.\nSecara keseluruhannya, Karnival Pemimpin Muda UM berjaya mencapai kesemua objektif yang ditetapkan dan membuahkan hasil yang cukup positif dan memberangsangkan. Semua peserta dapat memperoleh manfaat secara optimum pada hujung minggu di samping mempelajari cara-cara untuk mempraktikkan gaya hidup yang seimbang. Melalui penyertaan dalam karnival ini, semua peserta dapat memperoleh ilmu pengetahuan, pendedahan dan pengalaman yang berharga untuk menjadi seorang pemimpin yang holistik.\nPersatuan Pemimpin Muda UM bertekad akan terus menganjurkan lebih banyak aktiviti pada masa akan datang demi menyantuni masyarakat dan berkhidmat untuk negara.\nUntuk keterangan lanjut berkenaan program anjuran Persatuan Pemimpin Muda UM, sila layari media sosial persatuan seperti yang berikut:\nUM \u00a0Young\u00a0 Leaders \nIG- @umyoungleaders\nFB- UM Young Leaders\nTwitter- @umyoungleaders\nYouTube: UM Young Leaders\nLinkedIn: University of Malaya Young Leaders" "Kenyataan Media Pengerusi LPPR\u00a0Berhubung dengan Isu yang Terkait dengan SPRM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang mengadakan sidang media berikutan dengan beberapa isu yang berlaku dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga menimbulkan polemik dan persepsi negatif.\nSidang media ini adalah berkaitan dengan isu melibatkan (1) Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki; (2) dakwaan surat daripada mantan ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Dr. Edmund; (3) salah guna kuasa dan penyelewengan barang kes mantan ketua pengarah sebuah agensi; (4) penahanan pegawai dalam membantu siasatan kes jenayah; dan (5) pertuduhan pegawai SPRM terima suapan.\nMesyuarat khas telah dilaksanakan pada 24 November 2021 dengan penglibatan daripada semua wakil LPPR bagi mendapatkan dan mengetahui penjelasan lanjut.\nDalam pertemuan itu, Tan Sri Azam menjelaskan kedudukan sebenarnya bahawa akaun saham milik beliau ketika itu digunakan oleh adiknya, Nasir Baki untuk membeli saham berkaitan pada tahun 2015. Jelasnya, beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan pecuniary ataupun benefisial bagi pembelian mahupun pemilikan saham berkenaan.\nPada masa yang sama, pembelian saham tersebut dibuat di pasaran saham terbuka dan tiada sebarang percanggahan kepentingan bagi pembelian saham berkenaan pada tahun 2015. Walau bagaimanapun, kesemua saham tersebut telah dipindahkan semula kepada Nasir Baki dalam tahun berkaitan.\nSetelah berbincang dengan panjang lebar, ahli-ahli LPPR berpendapat bahawa Tan Sri Azam tiada sebarang kepentingan pecuniary mahupun benefisial terhadap saham berkenaan. LPPR turut berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan tanpa sebarang perlakuan jenayah atau conflict of interest\u00a0dalam perkara tersebut. Maka itu, LPPR bercadang untuk memaklumkan perkara tersebut kepada masyarakat.\nNamun begitu, isu ini telah dibangkitkan terlebih dahulu oleh bekas ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Dr. Edmund Terence Gomez.\nSebagai seorang terpelajar dan Ahli Jawatankuasa PPPR, tentu sekali Dr. Edmund mengetahui struktur dan tanggungjawab semua lima panel yang bebas memantau semua perjalanan Pentadbiran SPRM.\nOleh demikian, Tan Sri Abu Zahar berpendapat bahawa beliau mempunyai dua pilihan untuk mengemukakan perkara yang beliau tidak puas hati kepada LPPR atau Jawatankuasa Aduan (JKA).\nTan Sri Abu Zahar menegaskan bahawa beliau tidak menerima apa-apa surat daripada Dr. Edmund meskipun sehingga ke hari ini.\n\u201cNamun begitu, setelah Dr. Edmund menghebohkan perkara ini di media sosial, seterusnya atas arahan saya, pegawai sekretariat SPRM telah menghubungi dan menjemput Dr. Edmund untuk berbincang isu-isu yang dibangkitkan secara bersemuka untuk saya mengetahui perkara yang sebenarnya berkaitan dengan rasa tidak berpuas hati, tetapi tidak dipersetujui.\u201d\nTambah beliau, pendiriannya ialah mempertahankan dan melindungi imej SPRM daripada terjejas dan bukannya melindungi pegawainya yang membuat salah laku.\nMaka demikian segala aduan yang dilakukan haruslah disertakan dengan bukti kukuh dan saksi yang dipercayai untuk dikemukakan kepada LPPR atau JKA.\nSelain itu, Dr. Edmund juga boleh membuat laporan polis berhubung isu yang dibangkitkan sekiranya tidak percaya atau yakin kepada panel-panel tersebut. Untuk makluman, peranan PPPR adalah untuk menasihati SPRM dari aspek pencegahan dan pendidikan masyarakat. Peranan lain ialah menasihati Suruhanjaya bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pemeriksaan dan perundingan terhadap amalan, sistem dan tata kerja di sektor awam dan swasta yang membuka ruang dan peluang perlakuan jenayah rasuah.\nTan Sri Abu Zahar berkata, \u201cSaya sangat berpuas hati dengan tindakan SPRM yang telah menyiasat kes berkenaan dan seorang suspek dalam kalangan seorang pegawai SPRM telah pun dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam (4 Januari 2022).\n\u201cDaripada mula perkara ini berlaku, SPRM dan LPPR berharap supaya suspek hendaklah dituduh di mahkamah secepat mungkin untuk mengelakkan persepsi negatif masyarakat, namun pihak SPRM tiada kuasa untuk membuat pertuduhan, kerana kuasa membuat apa-apa pertuduhan merupakan kuasa mutlak pihak Peguam Negara (AG).\u201d\nLPPR turut dimaklumkan bahawa susulan kes berkenaan, SPRM telah melakukan asset recovery dan menyita sejumlah wang tunai bernilai kira-kira A.S.$4.07 juta dan RM1.6 juta, serta aset yang dibeli hasil wang haram tersebut, iaitu dua bidang tanah, tiga kereta, dua motosikal dan sebuah rumah.\n\u201cSaya telah mengadakan perbincangan bersama Pengurusan Tertinggi SPRM dan menyatakan pendirian LPPR yang memandang serius berhubung kes yang melibatkan pegawai SPRM dalam kejadian rompakan berkumpulan yang disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan pada 10 Disember 2021,\u201d kata Tan Sri Abu Zahar.\nKes ini bermula apabila pihak polis telah mengenal pasti tiga suspek dalam kalangan pegawai SPRM dan SPRM telah memanggil mereka yang disyaki seterusnya menyerahkannya kepada pihak polis.\nHal ini secara tidak langsung membuktikan ketegasan SPRM yang tidak berkompromi atau melindungi mana-mana pegawainya yang terlibat dalam sebarang salah laku jenayah. Pihak polis juga memberikan jaminan akan menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh segera dan menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara untuk menentukan tindakan selanjutnya.\nDalam sidang media petang tadi, menunjukkan bahawa SPRM tegas dalam mengambil tindakan terhadap pegawai yang melakukan kesalahan juga terbukti apabila dua pegawainya telah dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor pada 21 Oktober 2021 atas kesalahan memperoleh suapan berbentuk wang tunai sebagai balasan kononnya mereka boleh membantu menyelesaikan kes seorang individu yang disiasat SPRM.\nOleh hal yang demikian, LPPR mendapati bahawa SPRM kini sedang meneliti Prosedur Standard Operasi (SOP) dan pelbagai aspek dalaman dari sudut integriti sebagai penambahbaikan agar perkara sedemikian tidak berulang.\nJKA mencadangkan sebanyak 31 penambahbaikan dalam tatacara kerja SPRM, antaranya ketidakpatuhan dalam kendalian barang-barang kes; kelemahan dalam pengendalian dokumen terperingkat, serta pemeriksaan prosedur siasatan dan keperluan logistik.\nDalam hal ini, LPPR akan terus memantau perkembangan isu berkaitan dan memberikan pandangan dalam membentuk suruhanjaya bersama pegawai yang berimej, serta berintegriti tinggi.\nMengulas lebih lanjut, cadangan dua akta berkaitan dengan rasuah, iaitu Akta Dana Politik dan Akta Antilompat, LPPR menyokong penuh cadangan tersebut sebagai langkah membanteras rasuah dalam kalangan ahli politik, sekali gus mendapatkan kestabilan politik dalam negara.\nSebagai sebuah badan pemantau bebas, LPPR akan sentiasa memantau, meneliti, memberikan nasihat dan mengemukakan cadangan penambahbaikan supaya SPRM kekal sebagai sebuah agensi pencegahan rasuah yang unggul dan berprestij, sekali gus mencapai matlamat negara bebas rasuah.\nSumber: Teks Sidang Media YBhg. Tan Sri Abu Zahar Ujang, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR)." "Pelaksanaan Ujian Saringan COVID-19 Murid Sekolah Rendah Bawah Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa pelaksanaan ujian saringan bergilir COVID-19 bagi murid sekolah rendah bawah Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan dilaksanakan secara kendiri oleh murid di rumah dengan bimbingan ibu bapa atau penjaga.\nKhusus bagi pelaksanaan ujian saringan COVID-19 pada minggu ini, pihak sekolah telah mengenal pasti murid yang terlibat dan akan mengedarkan kit ujian kendiri berserta Slip Pengesahan Pelaksanaan Ujian Kendiri COVID-19 untuk dibawa pulang oleh murid pada 12 Januari 2022. Keputusan ujian saringan perlu dilaporkan kepada pihak sekolah pada 13 Januari 2022.\nSekiranya keputusan negatif, murid boleh hadir ke sekolah. Jika keputusan positif, ibu bapa atau penjaga hendaklah membawa anak mereka ke fasiliti kesihatan untuk tindakan lanjut dan memaklumkan kepada pihak sekolah. Namun, jika keputusan ujian tidak sah (invalid), ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan kepada pihak sekolah dan murid tersebut akan menjalani semula ujian saringan apabila hadir ke sekolah.\nKPM akan mengeluarkan surat siaran berkaitan penyelarasan semula pelaksanaan ujian saringan COVID-19 bagi murid sekolah rendah dan prasekolah.\nKetetapan ini turut terpakai di semua sekolah rendah dan tadika swasta yang berdaftar bawah KPM.\n\u00a0\nKaedah Pelaksanaan\nKaedah pelaksanaan ujian saringan COVID-19 bagi murid sekolah rendah dan prasekolah adalah seperti berikut:\na. Pada hari Isnin, sekolah mengenal pasti 10 peratus murid secara rawak bagi pelaksanaan ujian saringan COVID-19 untuk minggu tersebut.\nb. Pada hari Selasa, sekolah membekalkan kit ujian kendiri dan Slip Pengesahan Pelaksanaan Ujian Kendiri COVID-19 kepada murid untuk melaksanakan ujian saringan dan keputusannya perlu dilaporkan kepada pihak sekolah pada hari Rabu.\nc. Jika hari berkenaan (a dan b) adalah cuti umum, maka pihak sekolah akan menetapkan hari lain untuk mengenal pasti murid, membekalkan kit ujian kendiri serta penyerahan kembali slip pengesahan.\nd. Ujian saringan COVID-19 dilaksanakan secara kendiri oleh murid di rumah dengan bimbingan ibu bapa atau penjaga. Ibu bapa atau penjaga boleh merujuk tatacara pelaksanaan ujian kendiri yang disertakan bersama kit ujian kendiri yang dibekalkan oleh sekolah sebagai panduan.\ne. Tindakan susulan yang perlu diambil oleh ibu bapa/penjaga adalah seperti berikut:\ni) Melengkapkan dan menandatangani Slip Pengesahan Pelaksanaan Ujian Kendiri COVID-19;\nii) Sekiranya keputusan ujian adalah negatif, murid boleh hadir ke sekolah dan menyerahkan slip pengesahan ujian kendiri kepada pihak sekolah;\niii) Sekiranya keputusan ujian adalah positif, ibu bapa atau penjaga hendaklah membawa anak mereka ke fasiliti kesihatan untuk tindakan lanjut. Ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan kepada pihak sekolah; dan\niv) Sekiranya keputusan ujian tidak sah (invalid), ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan kepada pihak sekolah. Murid akan menjalani semula ujian saringan apabila hadir ke sekolah.\nf. Sekolah perlu merekod dan memaklumkan keputusan ujian kepada pejabat kesihatan daerah." "Kecil tetapi Besar Impaknya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKurangnya adab dan tata susila masih lagi mendominasi dalam kehidupan segelintir masyarakat. Suatu hal \u201ckecil\u201d yang belum menampakkan perubahannya ialah soal mengemas kembali meja selepas makan.\n\nHal ini kedengarannya seperti isu kecil dan remeh, namun jika melihat komentar di media sosial, sesetengah golongan sanggup bertelagah mempersoalkan tentang keperluan enam hingga 10 peratus cukai perkhidmatan yang dikenakan berbanding dengan memilih untuk memudahkan urusan pekerja restoran.\nBayangkan di sebuah restoran makanan segera, sudah menjadi kebiasaan untuk kita melihat sekumpulan muda-mudi yang mencantumkan tiga hingga lima buah meja makan, kemudian ditinggalkan begitu sahaja sisa makanan yang bertaburan dan tisu di atas meja tanpa segan silu.\nTidak cukup di atas meja, sisa-sisa makanan tersebut jatuh di lantai bak \u201ctongkang pecah\u201d. Usai makan, sekumpulan tersebut berjalan meninggalkan meja tanpa sedikit pun rasa empati kepada pekerja restoran. Inilah cerminan krisis adab dan kesusilaan sebahagian masyarakat yang kelihatannya seolah-olah belum cukup didikannya.\nAmat menyedihkan apabila melihat tahap kesusilaan masyarakat Barat yang \u201clebih Timur\u201d daripada orang Timur sendiri, walhal masyarakat Timur sentiasa dicanangkan sebagai kaya dengan adab dan kesusilaannya. Masyarakat Barat sering digambarkan sebagai penuh dengan budaya negatif dengna pelbagai label, namun apabila berada di kedai makan, keadaan bertukar menjadi sebaliknya pula.\nDi negara maju, budaya kemas meja dan kumpul sisa makanan untuk dimasukkan ke dalam tong sampah merupakan kebiasaan yang sudah lama disuntik ke dalam kehidupan masyarakat. Mengambil contoh Korea Selatan, budaya kemas meja dipraktikkan secara meluas dengan berdiri atas falsafah \u201cmudahkan orang, orang mudahkan kita\u201d. Menjadi satu kejanggalan jika seseorang itu gagal melaksanakan tugasnya sebelum meninggalkan meja makan.\nWalau bagaimanapun, di negara ini berada dalam situasi yang sebaliknya. Bagi mereka yang membersihkan meja selepas makan, segelintir pihak melihat situasi tersebut sebagai agak janggal. Malah, terdapat segelintir individu yang segan untuk melaksanakan nilai murni ini hanya kerana khuatir dipandang \u201cpelik\u201c oleh orang lain.\nDi negara jiran, Singapura, di sebalik status negara maju yang dikecap, ternyata segelintir rakyatnya juga masih lagi gagal keluar dari kepompong mentaliti kelas ketiga, terutamanya dalam aspek mengemas meja selepas makan. Kerajaan Singapura memandang serius tentang hal ini dan telah pun melaksanakan kempen return-your-tray sejak 2013. Begitu pun, kesungguhan kerajaan Singapura ini dikatakan tidak membuahkan hasil apabila kajian daripada Management University (SMU) mendapati satu daripada tiga orang responden mengatakan membersihkan meja selepas makan dianggap sebagai tugas pembersih.\nKrisis ini kelihatannya remeh, namun besar implikasinya. Perkara ini bukan sahaja menampilkan sisi pandang kemunduran pemikiran, malah dari sisi lain, aspek ini mewakili imej keseluruhan masyarakat. Pelenturan mentaliti kelas pertama haruslah dilakukan sejak di bangku sekolah lagi. Hal ini merupakan sebuah proses panjang yang perlu bermula daripada sekarang. Meskipun begitu, perlu diingatkan bahawa tanggungjawab mendidik ini tidak hanya terletak di bahu kerajaan, malah menjadi tanggungjawab individu dalam mendidik diri sendiri dan lingkungan persekitarannya." "Keintelektualan Orang Melayu dalam Mencipta Pantun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cUntuk mengarang pantun yang baik, ada tiga ciri utama yang perlu diabadikan dalam rangkap pantun,\u201d jelas Roslan Madun sebagai pembicara dalam program Bicara Pantun, anjuran Bahagian Buku Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada hari ini.\nMenurut beliau, ciri pertama ialah pembayang pantun yang perlu berunsurkan keintelektualan atau ilmu seperti geografi, perubatan dan pertanian. Persekitaran yang logik pula merupakan ciri kedua yang perlu ada dalam pembayang pantun dan tidak boleh direka-reka bagi menyamakan rima akhir, manakala ciri terakhir ialah andaian yang munasabah.\nTambah beliau, yang paling sukar untuk dilaksanakan ialah membuat andaian yang munasabah. Contohnya, \u201cDari Seremban ke Kuala Lumpur, menembak rusa bertalu-talu\u201d ialah pembayang yang tidak sesuai digunakan. Hal ini demikian kerana di lebuh raya kini tidak ada lagi rusa yang boleh didapati malah orang tidak menembak rusa secara bertalu-talu.\nSelain itu, beliau turut menyatakan bahawa terdapat perbezaan logik antara pantun pada zaman dahulu dengan pantun pada hari ini. Beliau memberikan contoh yang memetik tentang bait pantun dalam filem Hang Tuah yang berbunyi, \u201cDari Melaka ke negeri Pahang, singgah di Johor beli berangan\u201d. Keadaan ini tidak lagi berlaku pada hari ini kerana masyarakat tidak lagi menggunakan kenderaan laut untuk merentas tiga negeri tersebut.\nMasyarakat perlu berlaku adil terhadap pantun kerana semua puisi tradisional ditulis dengan maksud yang baik walaupun secara tersuratnya seperti sindiran. Hal ini menunjukkan ketinggian intelektual orang Melayu dalam penciptaan puisi tradisional.\nProgram Bicara Pantun bersama-sama Roslan Madun ini dipengerusikan oleh Penyampai Radio Internet Ceritera FM, iaitu Syed Suhaimi Syed Abdul Rahim. Yang turut hadir dalam program ini ialah Datuk Dr. Radzuan Ibrahim (Pengerusi Pemuisi), Encik Ismail Ahmed yang juga dikenali sebagai Adiwangsa Sukma (Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia), Puan Nurul Julia Alani Henry (Ketua Editor Bahagian Buku Sastera), dan karyawan DBP." "Azam Tahun Baharu: DBP Teguh Berjuang dengan Penuh Iltizam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meraikan tahun 2022 dengan mengadakan Majlis Azam Tahun Baharu 2022 sebagai permulaan yang penuh azam dan bersemangat untuk membina pasukan warga DBP yang berdaya tahan dalam menghadapi cabaran dan arus pemodenan, seiring dengan hasrat kerajaan.\nYang menariknya, dalam majlis yang berlangsung pada hari ini, DBP menyampaikan mesej \u201cJom Berubah: Tahun Baharu, Azam Baharu\u201d dalam tayangan video animasi dan sketsa pendek.\nMenerusi amanat dan azam tahun baharu yang disampaikan, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP berkata, pada tahun 2022, fokus utama DBP adalah berdasarkan Pelan Strategik DBP 2022-2025 yang dibangunkan dengan matlamat untuk mengindustrikan dan melestarikan bahasa dan persuratan Melayu, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi; bahasa Melayu sebagai bahasa negara; dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.\n\u201cTiga perkara ini akan menjadi tumpuan kita dalam tempoh lima tahun. Semua program mahupun aktiviti mesti menjurus ke arah pengembangan bahasa, sastera dan penerbitan,\u201d tegas Datuk Abang Sallehuddin.\nMenurut beliau, karyawan perlu berusaha untuk memastikan setiap perkara yang dirancang akan memberikan impak dan pulangan yang lebih bermanfaat dengan melihat, membuat kajian dan muhasabah diri demi meraih kejayaan dalam organisasi.\nTambah Datuk Abang Sallehuddin, pihak pengurusan juga menekankan bahawa pendekatan inovasi dalam setiap program perlu ditingkatkan sebagai satu daripada kaedah baharu dalam mencapai sesuatu pada tahap yang terbaik, serta bersesuaian dengan peredaran semasa.\nPada masa ini, DBP telah berjaya melaksanakan beberapa perkara, antaranya termasuklah usaha pendigitalan dan penerbitan DBP. Hal ini jelas kelihatan apabila karyawan DBP telah menunjukkan minat dan komitmen yang tinggi dalam era kebiasaan baharu melalui pelbagai penganjuran program, aktiviti serta penyampaian perkhidmatan secara dalam talian dengan memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi yang terkini.\nKetersediaan warga DBP terhadap perubahan ini memberikan petanda positif dan membuktikan bahawa warga kerja DBP komited dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan walaupun menghadapi pelbagai rintangan.\n\u201cKejayaan kita adalah hasil daripada usaha yang dilakukan secara berpasukan. Setiap pekerja perlu bersatu padu memainkan peranan penting bagi mencapai pembangunan negara, meskipun negara dilanda pandemik COVID-19 dan banjir teruk,\u201d jelas beliau.\nPada masa yang sama, Datuk Abang Sallehuddin turut menegaskan peri pentingnya warga DBP berpegang teguh pada undang-undang dan peraturan yang ditetapkan, serta menjadikan Pelan Antirasuah DBP 2022-2025 sebagai tatacara kerja supaya bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa.\nSelain itu, warga DBP dinasihatkan supaya melengkapkan dos vaksinasi bagi mengurangkan kadar keberjangkitan, seterusnya dapat memutuskan rantaian pandemik COVID-19. Hal ini sangat penting kerana warga DBP, khususnya pegawai banyak berurusan dengan agensi atau jabatan luar.\nDatuk Abang Sallehuddin turut menzahirkan rasa simpati atas ujian yang menimpa karyawan DBP. Rentetan daripada itu, DBP bersetuju untuk memberikan bantuan kepada staf yang terkesan dengan kejadian banjir melalui sumbangan yang berjumlah RM1000 untuk sebuah keluarga." "Ledakan Teknologi 3D Serlahkan Kualiti Kehidupan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nTeknologi cetakan tiga dimensi (3D) secara teorinya telah wujud sejak 1950, namun hanya mula dikaji dan diaplikasikan secara serius sekitar tahun 1980-an, Kini 3D menjadi antara tiang utama Revolusi Perindustrian 4.0. Potensi besar teknologi ini bukan sahaja mampu membantu proses pembuatan dan pembinaan di Bumi, malah bakal dibawa ke Marikh sebagai langkah pertama untuk menawan planet merah itu menjelang tahun 2050.\nPenggunaan 3D dijangka dapat membantu manusia untuk membina koloni pertama di Marikh menjelang tahun 2050 dengan perancangan awal menghantar robot-robot dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan kemampuan 3D terlebih dahulu untuk membina pelbagai infrastruktur yang dapat menampung keperluan manusia di planet merah tersebut.\nPentadbiran Angkasa dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat (AS) telah menganjurkan satu pertandingan antara tahun 2015 dengan 2019 bagi mencipta habitat manusia dengan menggunakan 3D untuk misi ke Marikh, dengan tujuan khusus menjimatkan kos bahan binaan serta menggunakan bahan mentah sedia ada di planet tersebut (tanah, pasir, batu dan mungkin juga logam).\nMedia melaporkan pada tahun lalu bahawa NASA telah memilih konsep binaan berbentuk telur ayam oleh Syarikat AI Space Factory sebagai pemenang. Bangunan empat tingkat itu boleh dibina menggunakan pencetak 3D dalam tempoh 30 jam sahaja.\nTeknologi 3D juga membolehkan angkasawan membina sendiri sebahagian besar barang keperluan misi mereka setibanya di planet itu, seterusnya menjimatkan ruang dan bahan bakar yang diperlukan kapal angkasa untuk ke sana. Perkembangan ini juga mungkin dapat mempercepat jangka masa perjalanan sehala ke Marikh daripada 270 hari kepada sekitar 80 hari sahaja seperti yang dirancang oleh bilionair, Elon Musk.\nBagi menguji penggunaan teknologi ini, sebuah mesin 3D dipasang di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sejak 2016, manakala Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) berjaya melancarkan sebuah enjin roket yang dicetak sepenuhnya menggunakan 3D pada Mac 2019. Pertandingan habitat Marikh oleh NASA itu juga membuktikan 3D mampu mengurangkan tempoh pembinaan projek perumahan di Bumi daripada enam bulan kepada sekitar 35 hari sahaja.\nSasaran utama kebanyakan penggiat industri 3D kini adalah untuk menyaingi tahap penggunaan mesin 2D sedia ada, dengan perancangan jangka panjang setiap isi rumah boleh mencetak sendiri kebanyakan produk keperluan di rumah seperti peralatan dapur, pertukangan, pembersihan, permainan, alat ganti komponen plastik dan banyak lagi.\nTeknologi ini juga mampu mengubah industri kecil dan besar dengan memudahkan penghasilan dan pengeluaran produk, malah peniaga mungkin hanya perlu menjual kerangka binaan digital untuk dicetak sendiri pelanggan di rumah, menghapuskan keperluan untuk pengilang membeli bahan mentah mahupun menghantar produk yang siap dari kilang ke rumah. Semuanya bakal berada di hujung jari pengguna di rumah mahupun di mana-mana sahaja mereka berada.\nMesin pencetak 3D peribadi kini boleh dibeli melalui platform dagangan digital tempatan dengan harga serendah RM30 untuk pencetak asas berbentuk pen, manakala pencetak automatik antara RM300 hingga RM2000 mengikut saiz, spesifikasi dan kehalusan produk yang ingin dicetak. Mesin cetak untuk kegunaan industri pula dijangka semakin murah pada setiap tahun dengan pembangunan teknologi baharu, khususnya kemampuan cetakan lebih halus dan bahan mentah yang lebih murah.\nWalau bagaimanapun, potensi 3D masih berdepan beberapa kekangan untuk meluaskan penggunaan teknologi ini seperti kos peralatan atau kos mesin cetak itu sendiri. Jenis bahan mentah yang boleh digunakan untuk membentuk objek atau struktur diingini yang buat masa ini masih terhad dan memerlukan lebih banyak ujian untuk memastikannya selamat dan kukuh. Produk atau struktur 3D yang dicetak juga masih memerlukan proses tambahan yang lain. Dengan perkembangan teknologi semasa, cetakan 3D dijangka menjadi antara produk mampu milik untuk kebanyakan isi rumah menjelang 2030 dan inovasi juga ini diharapkan dapat meningkatkan kualiti kehidupan manusia di seluruh dunia." "Kadar BAP Dinaikkan kepada RM150 bagi Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kadar Bantuan Awal Persekolahan (BAP) telah dinaikkan kepada RM150 berbanding dengan RM100 pada tahun-tahun sebelumnya.\nPengagihan BAP kepada murid yang bakal memasuki tahun dua hingga tingkatan lima pada 21 Mac 2022 bagi sesi persekolahan tahun 2022/2023 akan dilaksanakan mulai 17 Januari (Isnin) ini.\nMenteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin berkata, agihan ini dibuat lebih awal bagi membolehkan persiapan untuk anak-anak dapat dibuat sebelum sesi persekolahan baharu bermula.\n\u201cKementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyedari terdapatnya keperluan ibu bapa atau penjaga untuk membuat persiapan awal anak-anak, khususnya bagi memulakan sesi persekolahan 2022/2023 pada 21 Mac 2022,\u201d kata Datuk Dr. Mohd. Radzi dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook peribadinya pada hari ini.\nSeramai tiga juta penerima BAP yang terdiri daripada pelajar tahun satu hingga tingkatan empat yang mempunyai pendapatan isi rumah RM3000 dan ke bawah akan mendapat manfaat daripada bantuan ini.\nSementara itu, bagi murid tahun satu yang akan mula mendaftar masuk sekolah pada 21 Mac 2022, pemberian BAP dilaksanakan selepas proses pendaftaran selesai. Pemberian BAP boleh dilakukan secara bayaran tunai atau dikreditkan ke akaun bank bagi murid yang mempunyai akaun bank.\nBagi pemberian secara tunai, pengagihan dilaksanakan di sekolah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).\nSebelum ini, KPM telah menerima peruntukan BAP bagi tahun 2022 sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Kewangan dalam Belanjawan 2022." "57 Juruterbang Sertai Penerbangan Paramotor di Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013\u00a0Buat julung kalinya, Perlis menjadi tuan\u00a0rumah bagi aktiviti penerbangan paramotor yang dianjurkan oleh Kelab Paramotor Flyhigh Perlis, bertempat di kawasan lapang tapak projek pembangunan baharu Kangar Jaya, Seriab berhampiran dengan Kedai Minuman Starbucks.\nProgram yang berlangsung selama dua hari bermula pada petang semalam telah dihadiri oleh seramai 57 juruterbang paramotor dari seluruh negeri di Semenanjung Malaysia untuk mengambil bahagian dalam \u201cPerlis Permai Lagi Mempersona Tour 2022\u201d.\nDuli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menyempurnakan upacara pelepasan kibaran bendera sebagai simbolik perasmian program ini berlangsung.\nKeberangkatan tiba baginda disambut oleh Presiden Kelab Paramotor Fly High Perlis, Datuk Haji Abdul Azib Saad.\nAntara yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Azman Mohd.\u00a0Yusof dan Ketua Polis Negeri, DCP Datuk Surina Saad." "Hukuman Mati: Antara Undang-undang dengan Hak Asasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nMalaysia secara umumnya mewarisi sistem perundangan Common Law yang diperkenalkan oleh British sejak zaman kolonial. Kanun Keseksaan yang menjadi undang-undang jenayah utama negara memperuntukkan pelbagai kesalahan yang boleh dikenakan hukuman tertentu. Hukuman gantung sampai mati merupakan satu daripadanya yang sering menjadi perhatian kelompok masyarakat awam. \nTambahan pula, mana-mana orang yang didapati bersalah atas kesalahan tertentu, misalnya membunuh, mengedar dadah berbahaya dan bertindak ganas sehingga menyebabkan kematian akan menanggung akibat daripada perbuatan tersebut kerana hukuman mati mandatori boleh dijatuhkan terhadap mereka. \nDalam erti kata lain, kesalahan yang melibatkan hukuman mati diambil setelah mengambil kira kesan negatif terhadap mangsa, ketenteraman awam dan keselamatan negara.\nDalam konteks kesalahan yang menyebabkan kematian, terdapat dua jenis kesalahan yang sedikit berbeza, iaitu membunuh dan mematikan orang secara salah. Pada November lalu, sekumpulan pelajar sebuah universiti tempatan terlepas daripada hukuman mati apabila mereka didapati bersalah atas perbuatan mematikan Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman, secara salah mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan berbanding dengan kesalahan membunuh yang boleh dikenakan hukuman mati mandatori bawah Seksyen 302 Kanun yang sama. Setakat artikel ini ditulis, laporan kes penuh masih belum diperoleh daripada pihak mahkamah untuk ditekuni dan amatlah tidak wajar untuk kita membuat kesimpulan mudah tanpa mengetahui alasan penghakiman kes tersebut.\nSebenarnya, perbahasan tentang pelaksanaan hukuman mati di negara tidak pernah sunyi. Hal ini dikatakan demikian kerana Malaysia merupakan satu daripada negara yang masih mengekalkan hukuman mati dalam sistem keadilan jenayah selain daripada Singapura, China, Bangladesh dan beberapa buah negara yang lain. Negara maju seperti United Kingdom, Australia dan Perancis juga telah lama memansuhkan hukuman mati dan menggantikannya dengan hukuman lain seperti pemenjaraan dan denda.\nTidak hairanlah apabila Malaysia sering menerima kritikan daripada negara yang tidak lagi melaksanakan hukuman mati begitu juga dengan pertubuhan hak asasi manusia. Memetik beberapa saranan yang diutarakan oleh beberapa buah negara menerusi Proses Kajian Semula Berkala Sejagat (UPR) menerusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), Malaysia digesa untuk memansuhkan hukuman mati secara berperingkat.\nDi samping itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) juga tidak ketinggalan dalam memperjuangkan pemansuhan hukuman mati di negara ini sejak tahun 2006. Memetik sumber laman web SUHAKAM, pertubuhan itu memuji langkah kerajaan dalam usaha memansuhkan hukuman mati secara beransur-ansur apabila pindaan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 telah dilakukan pada tahun 2019 dengan memberikan budi bicara kepada mahkamah untuk menentukan hukuman secara kes dan mengikut kes berbanding dengan hukuman mati mandatori.\nMalah, Amnesty International, sebuah pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa turut terlibat dalam usaha ini dengan melaporkan laporan khusus berkaitan dengan pelaksanaan hukuman mati di Malaysia yang merangkumi bilangan banduan akhir, kesalahan jenayah yang berkaitan dan beberapa kelompangan yang wujud berdasarkan hal ini.\nWalau bagaimanapun, usaha pemansuhan hukuman mati masih mendapat tentangan daripada pihak yang ternyata mahu hukuman ini terus dikekalkan. Mereka turut menggesa agar kerajaan tidak memansuhkan hukuman mati bagi memastikan pelaku jenayah yang terlibat \u00c2\u00a0tidak terlepas daripada hukuman yang setimpal. Mereka juga percaya bahawa hukuman mati mampu menegakkan keadilan terhadap keluarga mangsa dan bukannya sebagai balasan terhadap pelaku atas perbuatannya. Situasi ini menunjukkan bahawa langkah pemansuhan hukuman mati bukanlah sesuatu yang mudah direalisasikan kerana perlu mengambil kira pandangan kelompok masyarakat awam.\nDari perspektif undang-undang jenayah Islam pula, hukuman mati boleh dikenakan atas kesalahan membunuh serta kesalahan yang melibatkan ketenteraman awam dan keselamatan negara, antara lainnya keganasan dan jenayah menggulingkan pemerintah yang sah. Hukuman ini juga terbahagi kepada beberapa prinsip undang-undang jenayah Islam, iaitu hudud, qisas dan takzir. \nSelain itu, pembunuh juga boleh dihukum mati mengikut prinsip hukum qisas sebagai hukuman yang setimpal terhadap perbuatan yang dilakukannya melainkan pelaku dimaafkan oleh keluarga mangsa. Hal ini bererti bahawa hukuman mati boleh dikenakan dalam kes jenayah berat seperti yang diterangkan di atas menurut perspektif undang-undang jenayah Islam.\nSebagai kesimpulannya, perbincangan tentang hukuman mati masih belum mencapai titik noktahnya memandangkan masih terdapat pihak yang menyokong mahupun yang menentang pelaksanaannya hingga hari ini. Tambahan pula, undang-undang jenayah di negara kita yang memperuntukkan hukuman sedemikian bagi kesalahan tertentu adalah bertujuan untuk mencegah orang ramai daripada melakukannya di samping mengenakan hukuman yang setimpal terhadap pelakunya.\nOleh hal yang demikian, semua pihak mestilah mempertimbangkan segala aspek seperti undang-undang, keadilan, hak asasi manusia dan kesan terhadap keluarga mangsa bagi menentukan sama ada hukuman ini wajar dikekalkan atau perlu dimansuhkan dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia." "Nusantara Ibu Negara Baharu Indonesia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDahulunya, ibu negara Indonesia ialah Jakarta, kini kerajaan Indonesia mengumumkan nama baharu bagi ibu negara mereka ialah \u201cNusantara\u201d.\nPerkara itu diumumkan oleh Menteri Perancangan Pembangunan Indonesia, Suharso Monoarfa dan disahkan oleh Presiden Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi pada Isnin lalu.\nMenurut Suharso Monoarfa, ibu negara baharu itu terletak di Kalimantan Timur dan sekali gus menjadikannya antara perpindahan terbesar dari Jakarta yang kini terletak di Kepulauan Jawa.\n\u201cSaya juga menerima pengesahan dan arahan daripada Presiden Jokowi untuk menamakan ibu negara baharu Indonesia sebagai Nusantara,\u201d katanya.\nJelas Presiden Jokowi, pilihan ini dibuat disebabkan Nusantara dari dulu lagi menjadi ikon antarabangsa dan menggambarkan Indonesia.\nOleh itu, Nusantara akan dibentuk sebagai bandar mesra alam.\nTayangan video yang dikongsikan juga memperlihatkan penggunaan tenaga lestari dalam menjadikan persekitaran dan kepulauan tersebut berkonsepkan ekosistem yang penuh kehijauan.\nPada tahun 2019, Indonesia telah berkongsi cadangan untuk memindahkan ibu negara ke lokasi baharu susulan untuk mengurangkan beban lebih daripada 10 juta penduduk yang mengalami kesesakan lalu lintas yang luar biasa di negara itu.\nMengulas lebih lanjut berkaitan ibu negera baharu ini, proses pembinaan itu dijangka dilakukan secara berperingkat bermula dari tahun 2022 hingga tahun 2024.\nSumber video: Rnggt" "Kamus Kompetensi Pertama di Malaysia, Hasil Kerjasama AKEPT-UMP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Penerbit Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengadakan pertemuan ringkas dengan Timbalan Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Prof. Madya Dr. Yazrina Yahya bertempat di pejabatnya baru-baru ini bersempena dengan sesi penyerahan buku terbitan bersama, iaitu Kamus Kompetensi AKEPT-UMP. Kamus tersebut ialah kamus kompetensi pertama di Malaysia yang dihasilkan atas usaha sama antara AKEPT dengan UMP.\nPertemuan yang berlangsung kira-kira satu jam itu turut membincangkan hal yang berkaitan dengan perancangan dan kesinambungan kerjasama dalam penerbitan, serta penerokaan peluang baharu yang memberikan pelbagai manfaat bersama. Dalam usaha menyebarluaskan ilmu dan meningkatkan hubungan dua hala antara agensi lain, Prof. Madya Dr. Yazrina Yahya menyatakan bahawa:\nAKEPT sentiasa menyokong usaha seperti ini, khususnya kerjasama dengan pihak universiti dalam meneruskan agenda kecemerlangan kepimpinan dan pengurusan bakat demi memastikan universiti dan institusi pendidikan tinggi kekal relevan menghadapi cabaran semasa.\nDalam konteks penerbitan, Penerbit UMP dan AKEPT telah menjalinkan kolaborasi strategik sejak tahun 2018 dalam pembangunan judul penerbitan yang merangkumi subjek kompetensi dan kepimpinan institusi pendidikan tinggi. Kolaborasi yang diadakan secara berterusan ini membuktikan AKEPT-UMP sentiasa cakna dalam pembangunan bakat dan barisan kepimpinan yang utuh dalam kalangan warga akademik dan para pegawai profesional di institusi pengajian tinggi.\nPada masa yang sama, Pengarah Penerbit UMP, Encik Muhammad Azli Shukri berkata:\nPembangunan bakat dan kepimpinan merupakan isu yang sentiasa \u2018segar\u2019 dan memerlukan perhatian, serta kajian yang konsisten agar input yang diperoleh dapat didokumentasikan dalam bentuk buku, seterusnya menjadi tatapan dan pengetahuan pihak yang berkepentingan.\nTambah Encik Muhammad Azli, selain Kamus Kompetensi AKEPT-UMP, kerjasama antara kedua-dua belah pihak tersebut telah berjaya menerbitkan empat buah buku, iaitu CBTM Coffee Table Book, himpunan artikel dan bab dalam buku berjudul Memimpin yang Terpimpin Siri 1 dan Memimpin yang Terpimpin Siri 2.\nMenerusi pertemuan yang diadakan itu, pihak AKEPT dan UMP bersetuju untuk mempertingkatkan lagi program sinergi antara agensi tersebut dari semasa ke semasa agar kekal aktif, seterusnya memberikan manfaat bukan sahaja kepada pihak mereka, malah kepada masyarakat sekeliling." "Teknologi Mitigasi Banjir, Agenda Utama Kerajaan?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nFenomena banjir bukanlah hal yang asing di negara ini. Fenomena monsun atau musim tengkujuh pada setiap hujung tahun menyaksikan curahan hujan yang luar biasa membasahi bumi Malaysia. Keadaan yang di luar jangkaan ini sering menggugat kesejahteraan masyarakat, lebih-lebih lagi mereka yang tinggal berhampiran dengan sungai. Segala-galanya hilang sekelip mata, yakni rumah kediaman, wang ringgit, kenderaan, bahkan meragut nyawa sekalian hidupan.\nJika diimbas kembali, sejarah telah menceritakan hal-hal berkaitan dengan fenomena banjir di negara ini. Musibah banjir ini telah pun berlaku sejak tahun 1886, 1923, 1926, 1971, 2014 dan kini tahun 2021. Dalam tahun yang dinyatakan ini, hampir kesemua negeri di Semenanjung Malaysia telah merasai pengalaman mendepani ujian alam ini. Misalnya banjir yang berlaku pada tahun 2014, menelan \u201cmangsa\u201d yang lebih ramai, melibatkan negeri Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu. Penangan alam meranapkan kesemua negeri ini dengan sepantas kilat.\nUsai menelaah sejarah yang kelihatannya berulang-ulang, apakah tindakan yang sewajarnya? Di Malaysia, kelihatannya persediaan teknologi mengurangkan dampak banjir masih lagi kurang jika dibandingkan dengan negara maju. Satu-satunya teknologi banjir yang wajar diberikan pujian ialah terowong Stormwater Management and Road Tunnel (SMART) bernilai RM1.87 juta yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 2003. Hasilnya, baru-baru ini projek yang diletakkan di bawah Dasar Pembangunan Nasional ini berjaya melencongkan hampir lima juta liter air hujan di sekitar Lembah Klang.\nBayangkan tanpa adanya teknologi ini, tentunya banjir di Lembah Klang pada tahun 2021 ini berlipat ganda kesannya. Bayangkan berapakah banyak nyawa dan harta benda yang bakal terkorban? Maka itu, aspek inilah yang perlu diutamakan oleh kerajaan dalam mengurangkan dampak amukan alam, sekali gus meningkatkan kesejahteraan masyarakat.\nBerdasarkan situasi yang berlaku kini, ternyata terowong SMART sahaja tidaklah mencukupi untuk menyelesaikan isu banjir di Lembah Klang ini. Pemerkasaan dalam menambah lagi pembinaan teknologi banjir ini perlu menjadi agenda utama negara menjelang tahun 2030.\nMengambil contoh Singapura, meskipun berada pada saiz yang kecil, negara tersebut mempunyai lebih daripada satu teknologi pencegah banjir, iaitu Syed Alwi Detention Tank (Siap tahun 2025), Stamford Detention Tank (beroperasi sejak tahun 2018), dan Opera State Pumping Station (Beroperasi sejak tahun 2001). Sejak tahun 2012 lagi, kerajaan Singapura telah membelanjakan kira-kira $SGD1.2 bilion untuk teknologi banjir dan turut memberi peruntukan tambahan sebanyak $SGD500 juta atas tujuan itu. Hal ini menunjukkan Singapura benar-benar serius dalam mendepani cabaran perubahan iklim yang sebaiknya turut perlu dilaksanakan oleh Malaysia.\nBerbanding Malaysia, misalnya kawasan di sekitar Lembah Klang, kelihatannya kawasan seluas ini perlu dibangunkan lagi beberapa buah teknologi pembasmi banjir tambahan sebagaimana yang dilakukan oleh Singapura ataupun boleh mengadaptasi sistem pembasmi banjir tersohor Jepun, iaitu Metropolitan Area Outer Underground Discharge Channel. Dengan teknologi pembasmi banjir tambahan yang berkuasa tinggi, setidak-tidaknya risiko banjir di kawasan yang terdedah dapat diminimumkan secara keseluruhannya.\nBegitu juga bagi peringkat negeri, agenda pembinaan teknologi banjir ini mestilah menjadi keutamaan. Perak merupakan antara negeri yang telah menampakan tindakannya dalam mendepani hal ini. Pada ketika ini, terowong bawah tanah banjir sedang dibina di bandar Ipoh yang membolehkan kesemua air pembentungan dipam keluar melalui terowong bawah tanah dan dilepaskan di sebuah loji yang terletak di kawasan Papan. Teknologi yang seakan-akan menyerupai model teknologi banjir Jepun ini berpotensi tinggi mengelakkan Ipoh ditenggelami banjir. Tindakan proaktif sebeginilah yang perlu diambil oleh pihak kerajaan yang tidak lain tidak bukan demi melindungi kesejahteraan masyarakat.\nPenulis, Calon Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Perubahan Sosial dan Impak, Universiti Tun Hussein Onn (UTHM)." "MyCC Pantau PLUS dan Touch \u2018n Go untuk Pelaksanaan RFID\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengadakan perjumpaan dengan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Touch \u2018n Go Sdn. Bhd. (Touch \u2018n Go) berhubung dengan pelaksanaan RFID di sepanjang Lebuhraya PLUS pada 17 Januari yang lalu.\nHal ini adalah berikutan pengumuman kerajaan yang menghentikan penggunaan kad Touch \u2018n Go dan SmartTAG secara berperingkat bagi tujuan pelaksanaan penggunaan RFID secara sepenuhnya pada hujung tahun 2023.\nPerbincangan ini diadakan untuk mendapatkan pemahaman yang lebih terperinci serta perkembangan terkini berhubung pelaksanaan RFID kerana MyCC percaya bahawa inisiatif ini perlu dilaksanakan dengan lebih berkesan selaras dengan hasrat kerajaan untuk memodenkan pembayaran tol dan menambah baik pengurusan kesesakan di plaza tol.\nMemandangkan terdapat peningkatan aduan pengguna mengenai sistem RFID di seluruh Lebuhraya PLUS, MyCC turut berkongsi penilaian dan kebimbangannya mengenai pelaksanaan tersebut termasuklah memberikan akses kepada platform pembayaran lain untuk pembayaran tol bukan sahaja melalui kad debit atau kad kredit, malah sistem e-wallet turut diguna pakai.\nTerdahulu, dalam satu sidang media yang diadakan, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail menyatakan bahawa transaksi menggunakan RFID merupakan langkah awal kepada pelaksanaan pembayaran tol tanpa kehadiran plaza tol menerusi Sistem Laluan Terus Pelbagai Lorong (MLFF).\nNamun begitu, berita tersebut telah menimbulkan kebimbangan oleh sesetengah pengguna lebuh raya tentang penutupan lorong Touch \u2018n Go dan SmartTAG. Beliau kemudian menjelaskan bahawa pengguna masih boleh menggunakan kad Touch \u2018n Go dan SmartTAG kerana buat masa ini, hanya satu lorong RFID disediakan di plaza tol.\nMengambil kira tanggungjawab khas bagi kedua-dua perusahaan dominan ini dalam pasaran relevan, MyCC akan menumpukan usahanya dengan memantau secara konsisten perkembangan pelaksanaan sistem RFID selaras dengan peranannya dalam memperjuang dan mempromosi persaingan bagi kepentingan semua rakyat Malaysia.\nPerkara tersebut dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail yang menyatakan bahawa jika terdapat persaingan antara kedua-dua perusahaan tersebut, Akta Persaingan 2010 akan dikuatkuasakan.\nWalau bagaimanapun, disebabkan pasaran berkaitan dengan inovasi mewujudkan ketidakpastian, MyCC akan terus berganding bahu dengan pihak kerajaan dalam memastikan perubahan ke arah sistem yang lebih moden ini sentiasa memberikan servis dan manfaat terbaik kepada semua pengguna." "Menyantuni Generasi Pintar Peranti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2013 Sekembalinya Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran sebagai Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), beliau amat menitikberatkan aspek inovasi dan kreatif dalam kalangan karyawan DBP. Hal tersebut disuarakan oleh beliau semasa menjadi tetamu undangan BERNAMA Radio, menerusi slot Jendela Fikir \u201cDBP : Tenaga Jiwa Bangsa\u201d, dalam perbincangan yang memfokuskan tentang generasi muda dan hubungannya dengan DBP.\nBerdasarkan pengalaman yang dikongsi oleh Ketua Pengarah itu sejak awal perkhidmatan, kemudiannya bersara dan kini kembali semula menerajui DBP, beliau melihat usaha yang berfokus perlu dilaksanakan oleh DBP dalam usaha mendekati generasi pintar peranti ini. Beliau memaklumkan bahawa DBP sentiasa membuka pintu kerjasama dengan seluas-luasnya kepada golongan muda agar mereka sentiasa dekat dengan DBP.\n\u201cDBP giat mengadakan sesi sumbang saran, percambahan idea dan pendapat dalam kalangan karyawan DBP agar kaedah yang berunsurkan inovasi dan kreatif dapat dijayakan agar aspirasi generasi muda terhadap DBP dapat direalisasikan,\u201d ujar beliau semasa diwawancara dalam slot tersebut. Menurut Datuk Abang Sallehuddin, berdasarkan maklumat serta data yang diperoleh daripada media sosial DBP, generasi pintar peranti ini berjaya diraikan oleh DBP melalui perkongsian pantun, peribahasa dan sebagainya.\nBeliau turut memaklumkan, DBP sedang melaksanakan usaha bagi merekodkan serta menilai pantun-pantun oleh pengikut media sosial DBP agar dapat diterbitkan sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang sentiasa memberikan sokongan kepada DBP khususnya melalui pantun yang dibalas itu. Beliau juga menyatakan bahawa generasi pintar peranti ini memberikan impak terbesar kepada DBP untuk bersedia dengan cabaran pada masa akan datang dan bersedia menerima perubahan agar DBP dapat mengekalkan hubungan erat sedia ada. Dengan cara tersebut, golongan muda akan dapat menjadikan DBP sebagai wadah untuk mengekspresikan rasa cinta akan bahasa kebangsaan.\n\u201cDBP memahami cita rasa golongan muda yang sentiasa mahu melihat DBP sentiasa \u201csegar\u201d dalam aspek penyampaian dan perkhidmatannya. DBP juga menyatakan kesediaan untuk terus menjadi rakan karib kepada generasi muda agar mereka sama-sama dapat menyokong usaha yang dilaksanakan oleh DBP untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan,\u201d ujar Datuk Abang Sallehuddin lagi.\nDalam konteks ini, jelas beliau, DBP akan terus berusaha untuk memahami aspirasi anak muda khususnya dari segi penerbitan majalah, buku-buku dengan rekaan yang lebih menarik, penerbitan komik serta perubahan-perubahan lain yang pastinya akan memberikan semangat kepada mereka untuk lebih menghargai bahasa kebangsaan.\nPada akhir perkongsian, Ketua Pengarah DBP turut menitipkan pesanan agar generasi muda sentiasa mengekalkan amalan membaca. \u201cDBP akan sentiasa memimpin generasi muda dengan pendekatan melalui media sosial yang mampu mewarnai penyampaian kempen bahasa kebangsaan dengan lebih berkesan dan beriltizam akan terus memberikan nafas baharu kepada pelbagai program dan aktiviti yang diraikan oleh golongan ini,\u201d jelas beliau. Beliau juga berharap agar generasi muda terus kekal mendaulatkan bahasa kebangsaan dan pada masa yang sama turut mempelajari serta meraikan pelbagai bahasa agar dapat meraih lebih banyak ilmu pengetahuan." "Antropomorfisme dalam Dikir Barat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAntropomorfisme ialah metafora yang menggunakan kata atau bentuk lain yang mengaitkan ciri atau tingkah laku manusia kepada perkara bukan manusia. Antropomorfisme ini boleh ditafsirkan secara berbeza-beza berdasarkan masyarakat yang mempunyai budaya yang berbeza-beza.\nUnsur antropomorfisme merujuk unsur keserupaan atau persamaan antara ciri atau sifat hakikat manusia dengan sesuatu unsur bukan manusia, seperti haiwan, tumbuhan, fenomena alam (angin dan ribut), konsep abstrak (kesepian dan kerinduan), dan objek (batu, boneka).\nIstilah antropomorfisme yang diambil daripada bidang sosiologi dan antropologi yang dicipta pada pertengahan tahun 1700 ini ialah istilah gabungan daripada kata Yunani, iaitu antara kata \u00e1nthr\u014dpos yang bermaksud manusia dengan kata morph\u0113 yang bermaksud bentuk.\nJika diamati dengan lebih terperinci, dapat dilihat bahawa unsur antropomorfisme menjelaskan proses psikologi yang bermula daripada fahaman animisme yang melihat adanya tautan yang kuat antara manusia dengan alam dalam kehidupan manusia. Keadaan ini menyebabkan wujudnya perasaan keserupaan atau persamaan antara ciri dan sifat yang ada pada manusia dengan unsur alam yang begitu luas.\nAntara yang paling mendapat perhatian termasuklah keserupaan atau persamaan ciri dan sifat manusia yang ada pada haiwan. Fenomena ini telah berkembang luas sehingga menjadi suatu perkara yang menarik untuk diamati dalam pelbagai cabang disiplin ilmu. Sebagai contohnya, dalam bidang bahasa dan kebudayaan, unsur antropomorfisme ini boleh diselusuri dalam lirik lagu yang digunakan untuk menyampaikan sesuatu maksud secara halus.\nContoh penggunaan antropomorfisme dapat dilihat dalam lirik lagu dikir Barat, iaitu \u201cKucing\u201d yang ditulis oleh Cikgu Naim dan dinyanyikan oleh Pokya Mangkuk. Penulis lirik ini memberikan persamaan beberapa sifat manusia kepada kucing, seperti emosi, ciri psikologi dan sosial, serta perwatakan dan perlakuan.\nLirik lagu dikir Barat ini telah menonjolkan sifat empat jenis manusia yang dijelmakan menerusi watak kucing. Jenis manusia pertama ialah lelaki Bangladesh yang ditonjolkan menerusi lirik \u201cKucing bangla warna hite bulu tebal\u201d. Sifatnya pula ditonjolkan menerusi lirik \u201cPerangai serupo ular\u201d.\nJenis manusia kedua ialah wanita Siam yang dapat diperhatikan dalam lirik \u201cKucing paling bahayo kucing tino bako Siam\u201d. Sifatnya dapat diperhatikan dalam lirik \u201cPanda kecek oghe kito\u201d.\nJenis manusia ketiga ialah orang Amerika yang dapat dilihat dalam lirik \u201cKucing Amerika kulit bala mata biru\u201d. Sifatnya dapat dilihat dalam lirik \u201cKucing nih tak leh harap sanggup make ore Melayu\u201d.\nJenis manusia terakhir ialah orang Israel yang bersifat zalim yang terserlah dalam lirik \u201cKucing Israel hidung tinggi mulut tajam\u201d dan \u201cKucing nih sungguh zalim dia benci ore Islam\u201d. Keempat-empat jenis manusia ini diberikan watak antagonis kerana dilabelkan dengan ciri yang negatif.\nLagu dikir Barat tidak terkecuali daripada mengetengahkan unsur antropomorfisme dengan tujuan untuk menyindir secara halus akan tindak-tanduk manusia yang tidak lagi bersifat dengan sifat manusiawi. Masyarakat Melayu dikatakan bijak menyampaikan pesanan dan teguran dengan cara yang sangat halus.\nNamun begitu, bagi memahami dan menghayati lagu dikir Barat, pendengar mungkin menghadapi masalah untuk memahami alasan atau sebab penulis lirik menggunakan binatang, seperti kucing, itik, tupai dan lintah dalam lagu dikir Barat untuk menggambarkan perbuatan manusia.\nSalah faham pasti berlaku jika makna yang diinterpretasikan oleh pendengar tidak sama dengan maksud asal yang ingin disampaikan oleh penutur (penulis lirik). Oleh sebab itu, kajian terhadap unsur antropomorfisme perlu dilakukan supaya pendengar memahami maksud komunikasi yang ingin disampaikan menerusi lirik lagu dikir Barat.\nKebanyakan kajian linguistik terhadap peribahasa/bahasa kiasan hanya tertumpu pada bidang makna, metafora dan leksikal tanpa melihat aspek peristiwa komunikasi yang berlaku dalam setiap lirik lagu dikir Barat yang disampaikan.\nSeperti yang dijelaskan sebelum ini, penggunaan lirik lagu dikir Barat yang berunsurkan antropomorfisme bertujuan untuk menyindir secara sinis dan halus perlakuan dan sifat manusia. Unsur kognitif yang terselindung dalam makna sesuatu bahasa ialah suatu fenomena yang menarik untuk dikaji dan diperhatikan.\nLirik lagu dikir Barat dicipta dengan pelbagai kiasan, ibarat dan seumpamanya, seterusnya menjadi suatu bentuk bahasa yang kreatif yang memperlihatkan kepelbagaian maksud yang tersirat di balik kata yang tersurat.\nContoh tajuk lagu dikir Barat lain yang memaparkan unsur antrapomorfisme ialah \u201cLalat\u201d, \u201cAnak Tupai\u201d, \u201cAyam Serama\u201d, \u201cBurung Ngobok\u201d, \u201cKambing\u201d, \u201cBelut Pisang\u201d, \u201cAnak Kera Anak Beruk\u201d, \u201cCicak\u201d, \u201cLintah\u201d, \u201cBuaya\u201d, \u201cItik\u201d, \u201cPenyu\u201d, \u201cNyamuk\u201d, \u201cLembu\u201d, \u201cBeruk\u201d, \u201cLembu\u201d, \u201cUlat Bulu\u201d, \u201cDikir Frog\u201d dan \u201cBurung Keput\u201d.\nSecara keseluruhannya, antropomorfisme melambangkan ciri, bentuk rupa dan sifat manusia kepada unsur bukan manusia, seperti objek dan haiwan. Antropomorfisme juga memberikan bentuk rupa manusia kepada benda tersebut atau haiwan sehingga memiliki bentuk rupa dan wujud seperti manusia dengan sifat yang ada pada manusia. Namun begitu, penggunaan kata yang kurang sopan mungkin sedikit banyak menjejaskan tanggapan pendengar terhadap lirik lagu dikir Barat.\nOleh sebab itu, aspek penggunaan bahasa sangat penting supaya penggunaan bahasa dalam dikir Barat lebih sopan bagi menjamin keutuhan dan kelestarian dikir Barat, serta memberikan impak yang besar terhadap industri budaya amnya dan pendengar atau penonton khususnya. Hal ini dikatakan demikian kerana perubahan masa dan zaman telah banyak mengubah penggunaan bahasa dalam masyarakat atau komuniti yang menggunakan dikir Barat, sama ada perkembangan dalam penggunaan bahasa ketika persembahan biasa atau dalam pertandingan." "Utamakan Program Pemerkasaan Bahasa \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA PERLIS \u2013\u00a0Duli Yang Teramat Mulia, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis menitahkan program pemerkasaan pelbagai bahasa wajar dilaksanakan di negara ini supaya peluang pekerjaan untuk graduan yang baru menamatkan pengajian\u00a0 lebih cerah.\n\u201cPelbagai usaha untuk meningkatkan kemahiran tambahan terutamanya kepada graduan mahupun lepasan sekolah untuk menyertai alam pekerjaan hendaklah sentiasa dibangunkan. Begitu juga dengan segala inisiatif dalam membantu memadankan kehendak majikan atau syarikat dengan kelayakan dan kemahiran graduan mahupun lepasan sekolah juga perlu sentiasa dilaksanakan,\u201d demikian titah baginda Raja Muda Perlis. Menurut baginda, pada masa yang sama, mereka perlu didedahkan dengan kemahiran teknologi maklumat, latihan perwatakan diri, kepimpinan dan kebolehan dalam memikul amanah serta tanggungjawab.\nTuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan demikian selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21 000 kepada 30 orang asnaf terpilih. Masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM700 dan mereka terdiri daripada kalangan anak kariah Masjid Terapung Al Hussain, Kuala Perlis. Sumbangan tersebut akan diagihkan menerusi amil kariah berkenaan, Tuan Usop Harun. Turut serta mengiringi baginda Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif\u00a0 MAIPs.\nDalam majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra juga menyampaikan titah supaya rakyat di negara ini meningkatkan kemahiran dalam bidang komunikasi.\n\u201cSelain bahasa Inggeris, bahasa Mandarin juga wajar dimanfaatkan kerana China telah mendominasi ekonomi dunia pada hari ini. Bahasa Thai juga dilihat penting kerana Perlis terletak bersebelahan dengan negara tersebut serta banyak peluang pekerjaan bakal diwujudkan apabila pintu sempadan negara dibuka kelak\u201c, titah baginda. Tambah Raja Muda Perlis lagi, bahasa Tamil, Arab, Jepun, Sepanyol, Perancis, Russia dan lain-lain juga perlu diberikan perhatian sewajarnya sama ada secara lisan mahupun bertulis." "Transformasi Sektor Pertanian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, hari ini berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM11 200 kepada 28 orang asnaf yang terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al Amin Sempering. Program ini dianjurkan bersempena dengan \u201cHijrah Minda MAIPs Bilangan Pertama bagi Tahun 2022\u201d. Menerusi program ini, setiap seorang daripada asnaf yang terpilih akan menerima sumbangan sebanyak RM400 yang akan diagihkan oleh amilnya, Encik Senawi Saad.\nKetika bertitah, Raja Muda Perlis turut mengingatkan agar sektor pertanian terus ditransformasikan, dimantapkan serta dipertingkat tahap daya tahan, juga harus kekal berdaya saing.\nTambah baginda, skala pertanian bersifat \u201ccukup makan\u201c sahaja tidak lagi mencukupi dan perlulah diubah menjadi skala pertanian yang bercorak komersial, iaitu yang dapat menjamin pulangan yang lebih tinggi kepada petani yang terbabit.\n\u201cPeningkatan tahap produktiviti di semua sektor, kegiatan penyelidikan berkaitan dengan kaedah pengurusan pertanian yang baik serta penggunaan alat jentera termaju di ladang hendaklah diberikan perhatian yang serius ke arah mewujudkan sistem perladangan persis atau \u2018precision farming\u2019,\u201c titah baginda.\nMelalui kaedah ini, semua pihak bukan sahaja dapat mengurangkan kos pengeluaran pertanian, tetapi yang lebih penting dapat meningkatkan pendapatan para petani, penternak dan juga nelayan.\n\u201cLihatlah bagaimana negara jiran kita, Thailand dapat menukarkan tanah mereka yang tidak diusahakan menjadi tanah yang lebih subur dan produktif,\u201d titah baginda.\nTerdahulu, baginda turut berkenan singgah menyantuni rumah asnaf, Moi Fittriani Mursal, berusia 52 tahun yang baru sahaja kehilangan suami yang meninggal dunia beberapa bulan yang lalu. Beliau yang merupakan penerima Bantuan Fitrah MAIPs tinggal bersama-sama \u00a0dua orang anaknya yang masih bersekolah." "Menghormati Prinsip Demokrasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKebebasan berpolitik menjadi impian banyak pihak. Hal itu tidak lain tidak sebagai mendukung prinsip demokrasi dalam sesebuah negara yang mengamalkannya. Begitulah juga di Malaysia. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, demokrasi bermaksud pemerintahan oleh rakyat atau wakil yang dipilih dalam pilihan raya.\nPada 22 Januari 2022, Perdana Menteri, Dato\u2019 Seri Ismail Sabri Yaakob, membawa khabar gembira buat penjawat awam, khususnya guru di seluruh negara dan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), bahawa mereka dibenarkan untuk berpolitik berkuat kuasa serta-merta.\nMenurut Perdana Menteri, perkara itu diputuskan oleh Kabinet bagi menghormati prinsip demokrasi, memandangkan sebelum ini golongan berkenaan dilarang untuk berpolitik. Maka itu,\u00a0 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta untuk mengeluarkan surat pekeliling supaya guru tidak lagi diberikan tekanan berhubung dengan perkara terbabit.\n\u201cSebelum ini, ada notis pekeliling untuk menyekat guru daripada berpolitik dan ramai dalam kalangan mereka diberikan amaran untuk diambil tindakan. Saya sudah pun membawa perkara ini ke dalam Kabinet, dan Kabinet memutuskan untuk memberikan kebenaran (berpolitik) bagi menghormati prinsip demokrasi,\u201c katanya.\nBeliau yang juga Naib Presiden UMNO, berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan khas bersama-sama pemimpin Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan. Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata sebelum ini, kakitangan KEMAS dibenarkan berpolitik seperti rakyat biasa namun \u00a0ketika era pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), mereka tidak dibenarkan berbuat demikian.\n\u201cJusteru saya ingin umumkan bahawa petugas KEMAS juga bebas dan dibenarkan berpolitik. Namun begitu, hal itu tertakluk kepada peraturan jabatan masing-masing. Sebagai contoh jika seseorang guru itu berpolitik sehingga meninggalkan tugasnya, dia boleh diambil tindakan,\u201c katanya.\nPengumuman Perdana Menteri itu sudah tentu menjadi khabar gembira kepada mereka yang terlibat. Walau bagaimanapun, ada pihak yang mahu kebebasan yang diberikan perlu dihormati dengan terus mengutamakan tugas dalam mendidik anak bangsa. Tugas guru pada hari ini tidak lagi boleh \u201cditimbang\u201d seperti tiga atau empat dekad yang lalu. Pada hari ini, tugas guru amat menyeluruh dan mencabar \u2013 pendidik, pengajar, pembentuk adab, penyampai ilmu, mentor, agen perubahan, pakar rujuk, agen sosialisasi dan sebagainya. Dalam erti kata yang menyeluruh, guru ialah tunjang kepada sistem pendidikan negara dalam mencorakkan masa hadapan anak bangsa yang bakal memacu hala tuju negara.\nOleh itu, apa-apa yang diharapkan adalah dengan kebebasan berpolitik yang diberikan, guru tidak akan lupa dan lalai dengan \u00a0tanggungjawab utama mereka. Dedikasi mereka dalam mendidik anak bangsa tetap diletakkan pada kedudukan yang paling utama. Banyak pihak juga meletakkan keyakinan yang tinggi bahawa kebebasan berpolitik yang diberikan pastinya akan didasari dengan syarat yang akan diperincikan kelak oleh KPM sebagai panduan kepada guru yang ingin menceburkan diri dalam dunia politik.\nSebelum ini, umum mengetahui bahawa wujud larangan berpolitik dalam kalangan penjawat awam. Pada 6 April 2009, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) pernah mengeluarkan arahan kepada semua ketua setiausaha kementerian menerusi surat yang bertajuk Larangan Pelibatan dalam Politik ke Atas Pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.\nPerincian surat tersebut menjelaskan di bawah Peraturan 21 (1), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, pegawai awam dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional dilarang daripada mengambil bahagian dalam aktiviti politik atau memakai mana-mana lambang sesuatu parti politik.\nSecara khususnya, pegawai dalam kategori tersebut tidak boleh membuat apa-apa pernyataan awam, sama ada secara lisan atau bertulis, yang memberikan suatu pandangan yang berat sebelah atas apa-apa perkara yang menjadi isu antara parti politik; menerbitkan atau mengedar buku, makalah atau risalah yang mengemukakan pandangannya yang berat sebelah atau pandangan orang lain, tentang apa-apa perkara berkaitan dengan mana-mana parti politik; terlibat dalam merayu undi bagi menyokong mana-mana calon pada suatu pilihan raya kecil, atau apa-apa pilihan raya untuk apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik; bertindak sebagai agen pilihan raya atau agen tempat mengundi; masuk bertanding untuk apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik; atau memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik.\n\u201cSehubungan dengan peraturan yang dinyatakan di atas, kerajaan memandang serius pelibatan pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional dalam aktiviti politik adalah bertentangan dengan prinsip \u201cneutrality\u201d dan \u201cimpartiality\u201d yang diamalkan dalam perkhidmatan awam. Keadaan ini juga boleh membawa suasana yang tidak harmoni di tempat kerja. Oleh itu, semua ketua setiausaha kementerian hendaklah memantau perkara ini dan seterusnya mengingatkan semua pegawai dalam kategori berkenaan agar tidak terlibat dalam aktiviti politik sebagaimana yang dinyatakan. Sekiranya terdapat mana-mana pegawai yang mengingkari arahan ini, tindakan tatatertib hendaklah dikenakan ke atas mereka berdasarkan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Tatatertib) 1993.\nKenyataan dan peringatan yang berkaitan tidak pernah terhenti di situ. Meskipun Ketua Pengarah JPA silih berganti, peringatan yang sama masih dilontarkan bagi memastikan penjawat awam tidak terlibat atau terpengaruh dengan sentimen politik kepartian dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat. Menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 November 2019, kerajaan memutuskan bagi menghormati hak asasi manusia, penjawat awam boleh terlibat dalam parti politik tetapi bagi menjamin mereka kekal neutral, penjawat awam tidak dibenarkan memegang jawatan atau bertanding dalam sebarang jawatan.\nDalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat, bagi mengulas kebenaran berpolitik yang diberikan kepada guru dan petugas KEMAS, beliau menyarankan agar kerajaan segera mengeluarkan pekeliling atau garis panduan yang jelas mengenai kebenaran tersebut. Ujarnya, garis panduan itu penting bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang seperti salah guna kuasa, selain mengelak daripada orang awam membuat tuduhan tidak berasas.\nBeliau juga berpandangan bahawa kebenaran berpolitik yang diberikan pada dasarnya adalah munasabah kerana ketika ini remaja seawal usia 18 tahun pun bakal diberikan hak untuk terlibat dalam pilihan raya. Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan agar semua penjawat awam perlu memberikan keutamaan terhadap tugas hakiki masing-masing terutamanya dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.\nTernyata, kebebasan berpolitik yang diumumkan oleh Perdana Menteri\u00a0 kepada guru dan petugas KEMAS sewajarnya diraikan, namun keterbatasannya juga perlu ada dengan tidak sesekali mengabaikan tanggungjawab utama mereka demi anak bangsa dan negara." "Murid SK Assumption Dipindahkan ke Lima Buah Sekolah Berdekatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam sidang media mengumumkan pengosongan tapak Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption, Daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, berikutan tapak sekolah telah dibeli oleh Syarikat Avenue Sdn. Bhd. daripada pihak ketiga pada 3 November lalu.\nSehubungan dengan itu, pihak syarikat mengarahkan KPM untuk mengosongkan bangunan dan tapak sekolah tersebut dalam kadar yang segera.\nMenurut KPM, murid dan guru akan dipindahkan ke sekolah lain yang berhampiran berdasarkan ketetapan justifikasi yang dibuat.\n\u201cPertama, trend enrolmen murid menurun dari setahun ke setahun dan sekolah tersebut kini beroperasi dengan enrolmen murid seramai 53 orang.\n\u201cSelain itu, lima buah sekolah berdekatan dapat menampung murid dari SK Assumption dengan jarak antara 0.35 kilometer hingga 5.8 kilometer, seperti SK Kuala Perai, Butterworth; SK Sungai Nyior; SK St Mark, Butterworth; SK Khir Johari, Perai; dan SK St Mark, Perai\u201d kata KPM dalam kenyataan media tersebut.\nTambah KPM lagi, ketetapan itu dibuat untuk meningkatkan kecekapan penggunaan sumber melalui agihan semula 15 orang guru dan 2 orang Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) ke sekolah lain.\nWalau bagaimanapun, KPM memohon penangguhan pengosongan bangunan dan tapak sekolah sehingga tamat sesi Persekolahan Penggal 3, pada bulan Mac 2022 berikutan sesi persekolahan yang sedang berlangsung.\nMalah, KPM turut membantu memudahkan cara urusan kemasukan murid ke sekolah baharu pilihan ibu bapa bagi kalendar Akademik Sesi 2022/2023." "Iltizam Memperkasakan DBP sebagai Gedung Ilmu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMajlis Pertemuan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan staf DBP secara hibrid berlangsung pada 24 Januari 2022, bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir. Yang berikut inti sari amanat yang disampaikan dalam majlis tersebut:\n1. Lembaran tahun baharu 2022 perlu dimulakan dengan pembaharuan azam dan tekad untuk terus mengangkat bahasa, persuratan dan ilmu sebagai tonggak tamadun negara. Perjuangan bahasa merentas zaman dan tidak harus dianggap seolah-olah fesyen, yang berubah dari waktu ke waktu.\n2. Asas penting perjuangan, iaitu Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan, Akta DBP dan peruntukan serta peraturan negara yang lain perlu terus dijadikan landasan. Tidak patut ada anggapan bahawa perjuangan yang berasaskan semua peruntukan undang-undang itu telah ketinggalan zaman. Penerokaan bidang teknologi hendaklah dilihat sebagai wasilah penting untuk peningkatan dan pengembangan bahasa, persuratan dan ilmu, namun aspek substansi yang ditampung oleh teknologi mesti terus dimantapkan dan dipastikan terkawal mutunya.\n3. Tiga tumpuan utama dalam Pelan Strategik DBP 2021-2025 perlu dibuktikan pengisiannya. Langkah terawal yang wajib dilakukan ialah memastikan berlakunya proses penghayatan dalam kalangan semua warga kerja DBP, tanpa kecuali. Pengarah, Ketua Bahagian dan Ketua Unit bertanggungjawab mengambil langkah yang wajar untuk mengisi proses penghayatan dalam kalangan warga kerja pimpinan mereka. Langkah penting yang lain tentu pelaksanaan yang berkesan, pemantauan dan penilaian. Pada tahun 2023, kita berharap bahawa kajian separuh penggal yang dilakukan dapat menunjukkan pencapaian, kekangan dan strategi penambahbaikan.\n4. Tiga inisiatif atau prakarsa utama dalam tempoh lima tahun ini ialah \u201cBahasa Melayu sebagai Bahasa Ekonomi\u201c, \u201cBahasa Melayu sebagai Bahasa Negara\u201c dan \u201cBahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu\u201c. Ketiga-tiganya itu merupakan bidang kritikal dalam kaitannya dengan taraf dan fungsi bahasa Melayu. Kita tidak boleh sekadar bernostalgia akan kejayaan bahasa Melayu pada zaman lampu. Kita perlu mengembalikan kegemilangan itu dengan perancangan dan pelaksanaan yang praktis dan mampu diukur.\n5. Syarat kejayaan pengisian Pelan Strategik DBP itu bergantung pada kesediaan dan persediaan, ilmu, kemahiran, keikhlasan, dan istiqamah. Kesediaan mental dan psikologi amat penting sebagai syarat utama. Persediaan dengan senantiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran perlu dilakukan. Ijazah dan kelulusan lain bukan penentu kejayaan kerana zaman berubah dek ilmu berkembang. Kepekaan kepada perkembangan, cabaran dan keperluan baharu menjadi syarat penting. Demikian juga keikhlasan, bekerja berlandaskan pegangan bahawa pelaksanaan tugas itu satu bentuk ibadah dan istiqamah penting yang perlu dijadikan amalan.\n6. Hal lain yang penting juga ialah perlunya ada kesepakatan dalam penentuan hala tuju dan pengisian program yang berkaitan. Pandangan boleh dikemukakan dan perbezaan pendapat boleh diraikan. Namun, apabila keputusan telah diambil secara berjemaah, maka perlu ada sikap taat dan patuh dalam pelaksanaannya. \u201cMuafakat membawa berkat\u201c. Berkaitan dengan itu, saya mengulang penegasan pentingnya kerja dilaksanakan secara berjemaah. Janji hadis Nabi SAW tentang fadilat solat berjemaah 25 atau 27 kali ganda perlu ditetapkan dalam aspek kehidupan yang lain, termasuk dalam pelaksanaan tugas. Setiap orang ada peranannya. Besar atau kecil amanah yang perlu dilunaskan bergantung pada kedudukan jawatan yang disandang. Gagasan sosiologi \u201ckedudukan dan peranan\u201c perlu dipenuhi kerana kedudukan atau jawatan yang disandang berkaitan dengan berat atau kurang beratnya taklif yang mesti dilunaskan. Pokoknya, semua warga kerja, tanpa mengira kedudukan dan pangkat, ada peranannya masing-masing.\n7. Mudah-mudahan tahun 2022 menjadi tahun peningkatan peranan DBP sebagai badan bahasa, persuratan dan ilmu. Banyak pihak yang masih perlu disantuni, sama ada untuk memperoleh maklumat yang tepat tentang DBP mahupun untuk dijadikan rakan sinergi DBP. Jika ada dakwaan, sendaan dan sindiran yang diterima, hadapilah semua itu dengan kepala yang dingin dan dada yang lapang melalui kaedah ilmu, bukan emosi. DBP ialah badan ilmu. Sebahagian yang membuat dakwaan mungkin tidak mempunyai maklumat dan menjadi tanggungjawab kita menyampaikan maklumat yang tepat. Sebahagian yang lain bersikap kritis dan hal itu perlu dimanfaatkan untuk penambahbaikan gerak kerja DBP." "Guru Diingatkan agar Mengutamakan Tugas Hakiki\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu \u2013 \u201cKementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan perbincangan bagi meluluskan usul meningkatkan kemudahan infrastruktur di semua institut pendidikan guru (IPG) di seluruh negara, khususnya di Sabah,\u201d ujar Timbalan Menteri Pendidikan ll, YB Datuk Mohamad Alamin kepada media selepas mengadakan Lawatan Tindak Susul Parlimen Negeri Sabah di\u00a0 Kampus Gaya, Kota Kinabalu.\nBeliau memulakan lawatan kerja selama seminggu di Sabah bermula pada 24 Januari 2022 yang meliputi IPG Kampus Kent, Tuaran; Sekolah Kebangsaan Rampaian, Kota Kinabalu; dan IPG Kampus Gaya, Kota Kinabalu.\nLawatan kerja ini merupakan inisiatif kerajaan bagi meningkatkan dan menambah baik pelbagai kemudahan di IPG di samping memantau kebajikan dan keperluan bakal guru sebagai pendidik anak bangsa. YB Datuk Mohamad Alamin turut berharap agar bakal pendidik dapat meningkatkan apresiasi secara sama rata dan tidak hanya berfokus kepada pelajar yang cemerlang sahaja.\nTambah beliau lagi, KPM akan berusaha untuk menambah pengambilan bilangan guru ke Sabah dan Sarawak secara sekali beri (one-off) bagi menampung masalah kekurangan guru pada ketika ini.\nDalam siri lawatan tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan bantuan kewangan dan peralatan kepada Sukarelawan Skuad Amal Keluarga Malaysia IPG-Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) serta melawat tapak bangunan pentadbiran baharu, Dewan Serba Guna dan Auditorium IPG Kampus Gaya, Kota Kinabalu.\nDalam ucapannya, YB Datuk Mohamad Alamin turut mengingatkan guru agar sentiasa melaksanakan tugas hakiki sebagai pendidik, malah kebenaran yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada golongan guru untuk bergiat aktif dalam politik bukanlah tiket kepada mereka untuk sibuk berpolitik sehingga mengabaikan tugas hakiki mereka.\nSaya berasa bimbang jika para guru lebih mengutamakan berpolitik berbanding dengan melaksanakan amanah tugas sebagai guru sehingga melanggar syarat yang ditetapkan oleh jabatan dan kementerian masing-masing. Walau bagaimanapun, hingga kini masih belum ada garis panduan yang dikeluarkan tetapi guru sudah sedia maklum mengenai syarat dan peraturan semasa yang perlu dipatuhi.\n\u201cTerima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau membenarkan golongan pendidik untuk bergiat aktif dalam dunia politik dan saya berharap agar para guru yang terlibat akan terus komited dalam melaksanakan tugas hakiki yang telah diamanahkan,\u201d jelasnya.\nSeterusnya, lawatan kerja ini akan bersambung ke daerah Keningau, Tambunan dan\u00a0 Ranau bagi meninjau sebarang permasalahan dan juga menyampaikan beberapa sumbangan kepada sekolah di daerah tersebut." "Kunjungan Hormat ke Arkib Negara, DBP Pelihara Khazanah Sejarah melalui Pendigitalan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan kunjungan hormat ke Arkib Negara Malaysia (ANM) pada pagi tadi bertempat di Pusat Pendokumentasian dan Pemeliharaan Audiovisual (PPAV).\nKunjungan DBP ini disambut baik oleh Tuan Haji Mohd Nasir Ismail, Pengarah Bahagian Pengembangan ANM bersama-sama pegawai ANM untuk mendapatkan pendedahan dan khidmat kepakaran dalam mengurus dan menjaga hak cipta karya, khususnya khazanah bersejarah.\n\n\nDalam pertemuan yang berlangsung kira-kira satu jam setengah\u00a0ini berkisar tentang\u00a0tatacara pengurusan dan pengendalian rekod\u00a0yang komprehensif untuk diadaptasikan dalam pentadbiran DBP.\nPengarah Jabatan Penerbitan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat\u00a0mengatakan hasrat DBP untuk menjadi sebuah pusat rujukan\u00a0tanpa sempadan, sekali gus sentiasa memastikan karya-karya dan khazanah lama (seperti kertas dokumen, filem, mikrofilem, gambar, pita rakaman audio visual, manuskrip, buku dan artikel) terus terpelihara dan dilindungi hak ciptanya.\n\nElemen pendigitalan merupakan agenda utama negara pada masa ini, maka kita perlu bersiap siaga dengan ilmu dan kemahiran melalui persekitaran teknologi maklumat dan komunikasi.\nMenerusi pertemuan ini, Tuan Haji Mohd Nasir Ismail\u00a0berkata, pembangunan\u00a0sistem pengurusan rekod secara digital ini sangat penting dalam usaha mengumpul bahan sebagai sumber rujukan dan warisan negara\u00a0pada masa akan datang.\nTambah beliau, perkara ini wajar dilakukan oleh setiap badan atau agensi bagi memastikan hak cipta terpelihara, seterusnya memenuhi keperluan semasa dan jangka panjang selain menyokong perkembangan era dunia digital.\nSeperti di ANM, usaha pemeliharaan, penjagaan, pembersihan dan pengurusan koleksi arkib sentiasa ditambah baik mutunya untuk memastikan nilai khazanah dalam keadaan yang baik, seterusnya mampu menjadikan wadah dalam pencarian maklumat yang berguna.\nKunjungan pertemuan ini turut dihadiri oleh Ketua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani Omar; Ketua Bahagian Multimedia, Puan Naimah Yusof; Ketua Bahagian Pusat Dokumentasi Melayu, Nik Aman Nik Yusoff; dan Ketua Editor Bahagian Buku Umum, M Azahari Edin serta pegawai-pegawai DBP.\nMengulas lebih lanjut, hasil pertemuan ini diharapkan dapat diusahakan secara bersinergi antara DBP dengan ANM untuk meningkatkan kecekapan dan kesedaran pegawai selaku penjawat awam mengenai pengurusan rekod yang berkualiti, serta beroleh manfaat khususnya kepada warga pekerja yang mengaplikasikan pencarian data, dan masyarakat secara amnya." "Penyelidikan dan Inovasi: Mantapkan Kolaborasi dengan Rakan Sinergi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putera \u2013 \u201cBagi memperluas peranan dan menjadi duta akademik di luar persekitaran universiti, seluruh warga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) haruslah komited mendekati komuniti melalui Program Tanggungjawab Sosial Universiti dan pemindahan ilmu berimpak tinggi bagi mengatasi pelbagai isu sosial dan kesejahteraan masyarakat dengan memperkasakan UniMAP4Society.\u201d\nDemikianlah kenyataan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis ketika berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Malam Tuanku Canselor Bersama Ketua-ketua Jabatan UniMAP 2022 yang diadakan di Bangunan Canselori Kampus Alam Pauh Putra semalam.\n\nKeberangkatan tiba baginda bersama-sama dengan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Tuanku Pro Canselor disambut oleh Naib Canselor, Prof. Ts. Dr Zaliman Sauli dan Timbalan-timbalan Naib Canselor serta pengurusan tertinggi universiti.\nDalam majlis tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyampaikan titah supaya warga UniMAP terus memantapkan lagi kolaborasi dengan lebih banyak rakan sinergi dari aspek penyelidikan dan inovasi.\n\u201cIlmu penyelidikan yang diterjemahkan kepada produk atau perkhidmatan baharu dapat meningkatkan\u00a0mutu institusi, sekali gus mengukuhkan pembangunan ekonomi negara,\u201d titah baginda Raja Muda Perlis dalam meyakinkan warga UniMAP berkaitan dengan manfaat yang bakal diperoleh daripada kerjasama tersebut." "KPM Komited Memperkasakan Program TVET di Kolej Vokasional\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKeningau \u2013 KPM sangat komited dalam usaha meningkatkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di semua institusi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), termasuklah kolej vokasional, kata Timbalan Menteri Pendidikan II, YB Datuk Mohamad Haji Alamin dalam tinjauan dan lawatan kerja di Kolej Vokasional Keningau semalam.\n\u201cProgram merentasi kementerian ini selari dengan aspirasi kerajaan dalam RMK-12 baru-baru ini yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob untuk memperkasakan TVET di negara kita.\u201d\n\u201cDengan inisiatif ini, kolej vokasional juga mampu bergerak pantas ke hadapan bersama-sama dengan kolej yang lain,\u201d kata beliau ketika diwawancara.\nSebelum ini, beliau telah mengadakan lawatan ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau dan menerima beberapa pandangan untuk menaik taraf kampus tersebut.\nSusulan daripada permohonan pihak Kolej Vokasional Keningau untuk menaik taraf dari segi struktur bangunan, beliau turut mengakui keperluan untuk penyelenggaraan kerana usia kolej tersebut agak lama. Oleh itu, KPM akan mempertimbangkan permohonan tersebut, ujar beliau.\nBeliau turut menyampaikan sijil kepada pensyarah dan pelajar Kolej Vokasional Keningau yang telah memberikan sumbangan dalam menaikkan nama kolej pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.\nMengakhiri sesi wawancara itu, beliau menegaskan bahawa pihak KPM sangat komited untuk membela Murid-murid Berkeperluan Khas (MBK) kerana banyak insentif dan usaha dibuat oleh pihak KPM dengan memberi mereka ruang dan peluang yang lebih banyak dalam konteks pendidikan agar nasib mereka terbela dan tidak tertinggal di belakang." "Pengujian Identiti Digital Nasional Menjelang Akhir Tahun 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMenjelang akhir tahun 2023, Jabatan Pendaftaran Malaysia (JPN) sudah mula memberikan petunjuk berkenaan pengujian pelaksanaan Identiti Digital Nasional (IDN).\nMerujuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), IDN merupakan suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri secara digital dengan merujuk sumber tunggal yang sahih berdasarkan ciri-ciri biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah, iris dan maklumat demografik.\n\u201cManfaat IDN itu adalah untuk mendapatkan perkhidmatan digital yang selamat, terjamin dan dilindungi,\u201d kata MCMC dalam kenyataan pada hari ini.\nPada masa yang sama, Timbalan Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi JPN, Puan Laila Abdul Majid berkata, terdapat perbezaan pada penerapan IDN dan MyKad.\nMy kad merupakan kad fizikal yang memaparkan status kewarganegaraan untuk orang awam, sementara IDN pula lebih berfungsi mengesahkan identiti pengguna lebih terperinci.\nPelaksanaan IDN ini bukan sahaja merangkumi status kewarganegaraan, namun lebih kepada meningkatkan keselamatan identiti pengguna dalam setiap urusan transaksi.\nBukan itu sahaja, pengenalan IDN dikatakan baik untuk ekosistem kewangan negara kerana ciri khususnya memberikan jaminan keselamatan dan terhindar daripada penipuan maklumat.\nMeskipun pembangunan ini masih pada peringkat awal, namun JPN menyasarkan supaya pelaksanaan IDN dijangka dapat dilakukan secara menyeluruh menjelang April tahun 2024." "Api dari Suatu Zaman\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nDewan Bahasa dan Pustaka lahir di ambang kemerdekaan negara, dan dalam gelora jiwa bangsa yang ingin bebas daripada belenggu penjajahan yang sekian lama terpendam. Roh perjuangan dan semangat kebangsaan, khususnya dalam kalangan orang Melayu ketika itu bagaikan api yang marak membakar semangat setiap lapisan rakyat untuk bangkit berjuang membebaskan jiwa dan minda bangsa daripada terus tertawan.\nSatu daripada tonggak utama bangsa dan negara yang merdeka ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasminya. Justeru, kebangkitan kebangsaan yang tinggi menjelang kemerdekaan bangsa dan negara ketika itu\u00a0merupakan agenda utama perjuangan kebangsaan,\u00a0iaitu\u00a0mengangkat serta mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Demi melaksanakan amanah dan memaknakan hasrat bangsa itu, maka tertubuhlah Dewan Bahasa dan Pustaka\u00a0(DBP) pada 22 Jun 1956.\nBerbekalkan pengalaman lalu yang sarat hikmah dan perjuangan lestari,\u00a0DBP terus melangkah ke hadapan\u00a0\u0336\u00a0membina, memajukan, menyebarluaskan dan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Bersempena dengan ulang tahun ke-66 DBP, molek kiranya ditinjau beberapa ceritera kejayaan DBP, dan sumbangan besarnya kepada pembinaan tamadun bangsa Malaysia, sekali gus melakukan muhasabah bagi diri dan organisasi demi melangkah ke hadapan dengan semangat berapi, peribadi berintegriti dan citra berwibawa.\nSumbangan yang paling utama DBP\u00a0ialah dalam pengekodan atau penyeragaman bahasa Melayu, iaitu dengan menghasilkan satu variasi bahasa standard yang sempurna dan seragam dari\u00a0aspek tatabahasa, ejaan, makna dan sebutan yang telah membolehkan bahasa Melayu menjadi satu-satunya bahasa yang digunakan serta diutamakan dalam konteks rasmi dan pelbagai situasi formal yang lain.\nDalam aspek ejaan, sumbangan signifikan DBP\u00a0ialah dalam penghasilan daftar ejaan Rumi yang paling lengkap yang sekali gus menjadi rujukan utama dalam pengejaan dan penulisan kata yang betul\u00a0\u00a0\u0336\u00a0\u00a0garis panduan tersebutlah yang menjadi pedoman untuk menulis buku-buku teks dan sokongan pendidikan yang sifar kesalahan bahasa, sekali gus standard ejaan dan penulisan katanya untuk semua sekolah di seluruh negara.\nSebagai bahasa moden yang kian berkembang, bahasa Melayu juga perlu disempurnakan, diperkaya dan dilengkapkan dengan perbendaharaan kata, baik perbendaharaan kata biasa mahupun yang bersifat khusus dan teknikal. Maka\u00a0itu, bagi memenuhi keperluan tersebut, DBP telah membina dan menerbitkan pelbagai jenis kamus, dan yang paling mutakhir ialah terbitnya Kamus Dewan Perdana\u00a0(2020)\u00a0\u00a0\u0336\u00a0\u00a0kamus yang mengandungi lebih daripada 120 ribu entri dan subentri itu ialah kamus bahasa Melayu yang terbesar dan terlengkap di dunia.\nSesungguhnya, DBP juga memainkan peranan yang sangat penting dalam pemupukan ataupun pengembangan bahasa Melayu sebagai bahasa moden yang lengkap dan cekap sehingga bahasa itu mencapai tahap saling terjemah dengan bahasa-bahasa moden lain. Hasil daripada perancangan yang tersusun dan terarah yang telah dilaksanakan DBP, maka ribuan istilah baharu dalam pelbagai bidang, termasuklah\u00a0bidang sains dan teknologi telah dicipta\u00a0dan digubal\u00a0\u00a0\u0336\u00a0tinggal lagi masyarakat, khususnya dalam kalangan sarjana, ilmuwan dan profesional perlu mengambil inisiatif untuk memanfaatkan istilah-istilah itu sepenuhnya dalam bidang masing-masing.\nDalam bidang persuratan, terutamanya dalam pembinaan serta pengembangan Kesusasteraan Kebangsaan dan Sastera Melayu, pun DBP tekal menjadi pemuka yang tiada duanya. DBP pernah melahirkan tujuh orang Sasterawan Negara, dan ramai lagi dalam kalangan karyawan DBP yang menjadi sosok yang menjulang tinggi atau towering figure\u00a0dalam bidang persuratan dan kebahasaan\u00a0seperti Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan. Selebihnya juga ramai\u00a0yang dihormati dan disegani pada peringkat kebangsaan sebagai penulis, pemakalah, ilmuwan dan kritikus sastera. Justeru, sosok karyawan DBP yang berbakat besar dalam bidang kesusasteraan, dan kesenian yang lain perlu menyerlahkan kepengarangan kendiri dengan melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan kesusasteraan, di samping peri perlunya usaha-usaha berterusan untuk mengangkat harkat mereka sebagai penulis, kritikus dan sasterawan.\nKata orang tua-tua, sudah terang lagi bersuluh. Sejauh yang berkaitan dengan penerbitan dalam bahasa Melayu, DBP ialah penerbit kerajaan yang terkemuka, khususnya dari segi bilangan judul buku dalam bahasa Melayu yang diterbitkan pada setiap tahun. Bahkan, seperti yang diketahui umum, DBP juga mengungguli penerbitan majalah dalam bahasa Melayu. Tambahan pula, tiada siapa yang boleh menafikan bahawa DBP ialah lubuk emas bagi para penulis, dan pencetak Bumiputera\u00a0\u00a0\u0336\u00a0\u00a0DBP menyediakan peluang dan ruang yang terbentang luas kepada para penulis untuk menerbitkan puisi, cerpen, novel, skrip drama, esei, jurnal, rencana, buku teks, dan sebagainya.\nTahun-tahun mendatang jauh lebih mencabar kepada DBP kerana DBP akan berhadapan dengan berbagai-bagai perubahan persekitaran, khususnya persekitaran ekonomi, politik, dasar, budaya, sosial, demografi, teknologi dan pendidikan. Persekitaran yang tidak menentu itu, sesungguhnya menuntut DBP dan seluruh warga kerjanya untuk senantiasa sensitif, \u00a0responsif, kreatif, inovatif dan produktif untuk membina, memajukan, mencekapkan serta mengembangkan bahasa, sastera dan penerbitan agar bahasa Melayu menjadi bahasa negara, bahasa ilmu, bahasa ekonomi, bahasa persuratan serta bahasa antarabangsa yang lengkap, cekap dan berwibawa.\nSeyogianya, aneka ceritera kejayaan, keberadaan dan kepentingan DBP yang penulis paparkan selayang pandang ini hendaknya menjadi pendorong dan pemangkin kepada karyawan DBP di seluruh negara untuk membentuk serta memurnikan jiwa, emosi, rohani dan intelek diri yang jitu agar DBP tekal serta kekal menjadi obor kebangsaan, lidah rakyat yang sakti dan pustaka bangsa yang berwibawa.\nAkhirulkalam, dirgahayu DBP, dan didoakan agar DBP senantiasa menjadi tenaga jiwa bangsa nan abadi dan keramat nian untuk seribu tahun lagi." "Kuota Pengambilan Pekerja Asing Tidak Ditutup\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nPutrajaya \u2013 Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) melihat tindakan menghentikan sistem kuota khas pengambilan pekerja asing akan memberikan kesan kepada proses pemulihan ekonomi negara, terutamanya dalam sektor swasta.\nPresiden MEF, Datuk Syed Hussain Syed Husman menyatakan bahawa ekonomi negara telah terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak tahun 2019 serta bencana banjir yang berlaku baru-baru ini.\nMinggu lalu, Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kuota khas yang dikeluarkan dalam pengambilan pekerja asing di negara ini akan ditambah baik dengan beberapa kaedah baharu melalui syarat yang lebih ketat.\nHal ini demikian kerana jika pengambilan pekerja asing bersifat pengambilan bebas, pekerja asing akan masuk ke negara ini sewenang-wenangnya dan melanggar syarat, serta kriteria yang ditetapkan hingga menimbulkan masalah dari segi kebajikan, seperti tempat tinggal dan isu penggajian.\nNamun begitu, Datuk Syed Hussain berpendapat bahawa kuota tersebut mesti berasaskan permintaan sektor dan syarikat. Beliau menekankan lagi isu ini apabila Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) melaporkan bahawa Malaysia pada daya pemulihan telah alami ketinggalan apabila pasaran Vietnam telah melepasi produktiviti negara dan telah menjadi ekonomi keempat terbesar di Asia Tenggara.\nSelain itu, mengikut data IMF pada paparan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Malaysia ketika ini berada di posisi keenam dalam negara ASEAN.\nMelihat pada situasi tersebut, Presiden MEF itu berkata, seharusnya sistem buruh ini tidak ditamatkan bagi memastikan ekonomi negara dapat diseimbangkan semula. Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) turut berpendapat bahawa Malaysia perlu bertindak pantas ke arah mewujudkan dasar pengambilan pekerja asing berdasarkan sistem yang menyokong keperluan berasaskan permintaan sektor dan syarikat bagi mempercepatkan pemulihan perniagaan dan ekonomi.\nDatuk Seri Hamzah Zainudin ketika menjawab isu ini berkata, majikan perlu memohon semula dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk menambah baki pekerja yang dipohon memandangkan prosedur pengambilan pekerja asing telah diperketat bagi mengelakkan kuota bebas seperti legasi sebelum ini.\nSebelum ini setiap majikan perlu berurusan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk urusan penggajian pekerja asing. Namun begitu, kini semua urusan tersebut boleh dibuat melalui KSM bagi memastikan keseragaman dasar dan penyelarasan prosedur penggajian pekerja asing." "Tahun Baharu Cina: Jangkaan Trafik Meningkat 1.6 Juta Kenderaan Sehari, PLUS Saran Ikut Jadual TTA\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\nPetaling Jaya \u2013 PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan pertambahan jumlah trafik daripada 1.4 juta kepada 1.6 juta buah kenderaan sehari bermula pada 28 Januari 2022 hingga 6 Februari 2022, berikutan perayaan Tahun Baharu Cina.\nRentetan itu, PLUS mengambil inisiatif mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi pengguna Lebuhraya Utara-Selatan sebagai rujukan dan panduan untuk merancang perjalanan dengan baik, terutamanya bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang.\nPengguna jalan raya yang menghala ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor disarankan supaya memasuki lebuh\u00a0raya sebelum pukul 10.00 pagi,\u00a0manakala mereka yang menuju ke negeri lain disarankan untuk memasuki lebuh\u00a0raya selepas pukul 1.00 tengah\u00a0hari.\nDalam sidang media yang dikeluarkan pihak PLUS, Datuk Zakaria Ahmad,\u00a0Ketua Pegawai Operasi PLUS berpesan agar orang ramai perlu merancang perjalanan terlebih dahulu dengan berpandukan TTA untuk mengurangkan perkumpulan jumlah kenderaan yang terlampau banyak pada satu-satu masa.\n\u201cOrang ramai hendaklah sentiasa berwaspada dan terus mematuhi SOP yang ditetapkan,\u00a0terutamanya\u00a0ketika berhenti di kawasan rehat (R&R) dan hentian sebelah di sepanjang lebuh\u00a0raya.\u201d\nSelain itu, pengguna lebuh\u00a0raya dinasihatkan agar memandu dengan berhemah dan berhati-hati lebih-lebih lagi ketika hujan. Rehat yang mencukupi\u00a0juga sangat penting\u00a0sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan hal yang tidak diingini, di samping memastikan baki kad Touch \u2018n Go dan eWallet RFID Touch \u2018n Go sentiasa mencukupi.\nOrang ramai disarankan untuk mengikuti Twitter PLUSTrafik dan Chatbot PUTRI, serta aplikasi Waze ataupun GoogleMap bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan dengan trafik.\nMengulas lebih lanjut, pengguna juga boleh melihat visual trafik terkini menerusi paparan kamera litar tertutup\u00a0(CCTV)\u00a0di aplikasi PLUS.\nPihak PLUS sentiasa komited dan bersiap siaga dalam apa-apa jua keadaan untuk memberikan bantuan segera kepada pengguna lebuh\u00a0raya.\nSebarang bantuan lanjut, boleh hubungi di talian 24 jam PLUS menerusi \u00a0PLUSLine 1800 88 0000.\nSumber foto: PLUS" "Pemerkasaan Wanita di Pentas Arena Sukan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, hari ini berkenan berangkat merasmikan Pembukaan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) \u2013 \u201cWomen in Search of Excellence\u201d edisi kelima bertajuk Pemerkasaan Wanita dalam Sektor Kesukanan yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dengan kerjasama YTF dan Unit Perkhidmatan OKU (UPO) UiTM pada hari ini.\n\u201cProgram pembangunan sukan penting bagi mewujudkan budaya bersukan. Hal ini selaras dengan dasar untuk menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat dan mencapai kecemerlangan serta pengiktirafan dalam bidang sukan.\n\u201cSelain meningkatkan akses kepada kemudahan sukan dan riadah untuk wanita, pelaksanaan program ini hendaklah mengambil kira keperluan dan kemampuan wanita di pelbagai peringkat bagi memastikan penyertaan wanita yang lebih menggalakkan,\u201d titah Raja Muda Perlis yang menyokong penuh penglibatan wanita dalam pelbagai aktiviti sukan.\nKetika bertitah, Raja Muda Perlis juga menasihati rakyat agar memberikan sokongan terhadap penglibatan wanita dalam sukan bagi menggalakkan mereka menceburi bidang tersebut seperti menerusi pemberian peluang melanjutkan pelajaran dan mendapatkan pekerjaan. Melalui usaha itu, bilangan atlet, jurulatih dan pegawai sukan wanita juga dapat dipertingkatkan, selain peluang yang sama turut diberikan kepada wanita yang kurang upaya.\nTambah baginda yang merangkap sebagai Penasihat DiRaja YTF, \u201cArena sukan hari ini memerlukan lebih ramai penglibatan wanita yang berwawasan dan berkeyakinan tinggi sebagai platform untuk memartabatkan wanita di Malaysia. Malahan, orang ramai juga berpendapat bahawa tidak mustahil atlet wanita menjadi penyumbang pingat emas pertama negara menerusi sukan Olimpik.\u201d\nMenerusi dasar tersebut, YTF akan terus berusaha memperkasakan dan menambah baik peluang yang ada terutamanya untuk golongan wanita termasuklah bidang sukan.\nAhli panel dari UiTM Cawangan Perlis dan YTF yang turut diundang untuk berkongsi ilmu dalam webinar tersebut ialah Bekas Jaguh Heptathlon Negara, Datuk Zaiton Othman yang berbicara tentang \u201cMemperkasa Wanita dalam Sukan\u201d; Bekas Ratu Trek Negara, Datuk Marina Chin yang berkongsi tentang \u201cMembina Jati Diri dalam Kalangan Wanita\u201d; serta Bekas Penembak Paralimpik Malaysia, Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi dengan tajuk perbincangan \u201cSky is the Limit\u201d.\nMajlis perasmian penutupan ini disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah.\nTurut diundang dalam majlis ini pada sesi petang ialah tiga orang atlet negara yang terdiri daripada Juni Karimah Noor Jamali (Perahu Layar), Nur Suryani Mohamed Taini (Menembak) dan Anis Amira Rosidi yang berasal dari Perlis (Keirin Berbasikal) yang berkongsi ilmu dan pengalaman mengenai \u201cMengimbangi Bidang Sukan dan Akademik\u201d." "Syarahan Ungku Aziz\u2019s Thoughts and Public Policies\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC) dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) telah menganjurkan program The Royal Professor Ungku Aziz Public Lecture: Ungku Aziz\u2019s Thoughts and Public Policies pada petang tadi. Forum yang diadakan secara dalam talian boleh ditonton secara langsung menerusi platform Zoom dan media sosial UAC seperti Facebook.\nTujuan forum diadakan adalah untuk mengupas tentang sumbangan, jasa dan pengorbanan Profesor Diraja Ungku Aziz kepada negara. Forum ini menampilkan seorang panel jemputan, iaitu Tan Sri Dato\u2019 Seri Dr. Sulaiman Mahbob, Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER). Manakala Profesor Madya Dr. Raja Noriza Raja Ariffin, Pengarah Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan UM (INPUMA) selaku moderator program.\nForum dimulakan oleh Tan Sri Dato\u2019 Seri Dr. Sulaiman Mahbob yang berkongsi tentang latar belakang diri dan kehidupan Profesor Diraja Ungku Aziz. Seterusnya, beliau menghuraikan tentang Indeks Sarung (Sarung Index) yang dicipta oleh Profesor Diraja Ungku Aziz sebagai penunjuk kadar kemiskinan dalam kalangan orang Melayu pada era tahun 1950-an dan 1960-an.\nMenurut Tan Sri Dato\u2019 Seri Dr. Sulaiman Mahbob, teori Indeks Sarung merujuk jumlah kain sarung dalam isi rumah (household) dan dibahagikan dengan jumlah penghuni rumah itu (tolak bayi dan anak kecil). Apabila semakin kurang bilangannya, maka semakin tinggi kadar kemiskinan.\n\u201cDengan pengamatan dan pendekatan praktikal seperti inilah Profesor Diraja Ungku Aziz membuat analisis isu kemiskinan luar bandar. Namun begitu, beliau percaya kemiskinan tidak mengenal kaum. Selain itu, beliau juga melihat tiga faktor yang menjadikan kemiskinan kronik luar bandar berlaku, iaitu produktiviti rendah, diskriminasi dan kekangan institusi,\u201d ujar Tan Sri Dato\u2019 Seri Dr. Sulaiman Mahbob.\nTambah beliau, sumbangan, jasa dan pengorbanan Profesor Diraja Ungku Aziz dalam meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi masyarakat Malaysia tidak ternilai harganya. Profesor Diraja Ungku Aziz membuat kajian dan sering menekankan tentang isu masalah kemiskinan pendidikan, kebuluran dan kekurangan makanan berkhasiat bagi masyarakat luar bandar.\nPeluang pendidikan dan pekerjaan, ketidaksamaan agihan pendapatan serta bekalan air dan elektrik yang terhad di kawasan desa juga merupakan isu yang sering disentuh dan dikupas oleh Profesor Diraja Ungku Aziz demi membangunkan negara. Bahkan, tokoh ilmuwan ini turut berkongsi dan menghuraikan tentang punca-punca kemiskinan serta kaedah-kaedah yang berkesan bagi membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat.\nTurut hadir dalam forum ini ialah Tan Sri Datin Paduka Dr. Ungku Zeti Akhtar Ungku Abdul Aziz, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dan satu-satunya anak Profesor Diraja Ungku Aziz." "Kepentingan Bahasa Melayu dalam Jabatan Perkhidmatan Awam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bahasa Melayu yang baik dan betul dapat menjadi perantara yang peting dan utama dalam penyampaian maklumat di setiap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).\nHal ini turut diakui oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan), Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Encik Ramlee Kariah, ketika berkunjung di Ibu Pejabat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada pagi ini.\n\u201cKepentingan berbahasa Melayu yang baik dan betul itu amat diutamakan. Oleh itu, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah akan sentiasa berusaha untuk memastikan penguasaan bahasa yang baik dalam kalangan kakitangan kami terus dipertingkat dari masa ke masa agar perkhidmatan dan penyampaian yang dilaksanakan dapat difahami dan yang lebih penting sampai kepada rakyat,\u201d ujar Encik Ramlee Kariah \u00a0dalam ucapannya \u00a0yang berlangsung di Menara Dewan Bahasa, pada pagi ini.\nPertemuan tersebut yang dihadiri oleh 10 orang pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan diketuai oleh Encik Ramlee Kariah, adalah bermatlamat untuk meninjau prospek penerbitan buku dan majalah bercetak atau secara dalam talian berhubung dengan inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang boleh diketengahkan sebagai bahan rujukan ilmiah; mengenal pasti prosedur pewujudan Munsyi Dewan (Bahasa) dan Munsyi Muda (Bahasa) dalam perkhidmatan Kerajaan Negeri Sabah; menjalinkan kerjasama dari aspek khidmat bahasa; dan meneliti kursus bahasa yang sesuai untuk kakitangan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah.\nSementara itu, DBP yang menerima kunjungan tersebut amat berbesar hati dengan usaha Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah yang seiringan dengan DBP dalam memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu dalam semua sektor perkhidmatan kerajaan.\n\u201cPengurusan DBP sangat berbesar hati untuk memulakan kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dalam memperteguh sikap dan membentuk kefahaman masyarakat terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu serta mempromosi bahasa dan sastera kebangsaan,\u201d ujar Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md. Johari Hassan, ketika berucap mengalu-alukan kehadiran rombongan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah.\nTambah Tuan Haji Md. Johari lagi, DBP juga sejak sekian lama telah berusaha melakukan penyelidikan bagi mengumpulkan bahasa sukuan di Sabah untuk dimasukkan ke dalam Pangkalan Data Bahasa Sukuan. Banyak entri (dalam pangkalan data) juga telah diterbitkan oleh DBP dalam bentuk buku panduan, kamus, data ejaan dan data istilah.\n\u201cSemua bahan ini boleh menjadi rujukan pihak Kerajaan Negeri Sabah, khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dalam usaha memperkasa bahasa sukuan yang juga merupakan khazanah negara,\u201d ujar Tuan Haji Md. Johari.\nSelain itu, beliau turut menyarankan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah untuk bersama-sama menyertai Kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa (perujuk bahasa) yang akan berlangsung pada 27 Jun 2022 hingga 1 Julai 2022.\nMenyedari akan kepentingan perujuk bahasa dalam setiap jabatan kerajaan, Encik Ramlee Kariah menjelaskan bahawa pihaknya akan berusaha memastikan kepakaran Munsyi Muda dan Munsyi Bahasa dapat diwujudkan dalam Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah.\n\u201cHal ini sangat penting agar kita bukan sahaja boleh menulis dengan betul, tetapi yang lebih penting kita dapat bertutur dengan betul,\u201d ujar Encik Ramlee Kariah.\nKursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa merupakan program di bawah Strategi 5 Jabatan Perkhidmatan Awam, iaitu bertujuan untuk Mewujudkan Unit Khas Pelaksanaan Bahasa bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu yang baik, betul dan santun dalam kalangan penjawat awam.\nMenerusi rangka Pelan Tindakan Program Kebahasaan Jawatankuasa Kecil Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan 2015 hingga 2017 yang dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Bil.1/2015 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri pada 6 Mac 2015, menjelaskan bahawa strategi ini memberikan latihan kebahasaan formal dan berperingkat kepada pegawai kementerian setiap sektor yang dilantik khas. Pegawai ini akan menjadi Perujuk Bahasa kepada kementerian. Pematuhan ini adalah berdasarkan Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, \u201cBahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan\u201d." "Wanita dan Lelaki Harus Seiring dalam Memartabatkan Negara \u2013 Raja Puan Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nArau \u2013 \u201cKaum wanita diharapkan terus bangkit supaya saling melengkapi dengan kaum lelaki bagi memartabatkan negeri dan negara agar kekal teguh dan perkasa di mata dunia.\u201d\nDemikianlah titah saranan Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ketika berkenan merasmikan Penutupan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) \u2013 \u201cWomen in Search of Excellence\u201d bertajuk Pemerkasaan Wanita dalam Sektor Kesukanan yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis dengan kerjasama YTF dan Unit Perkhidmatan OKU (UPO) UiTM pada petang semalam.\nTuanku Raja Puan Muda Perlis selaku Pengerusi YTF turut menzahirkan rasa bangga dengan tahun 2021 yang lalu apabila menyaksikan golongan wanita merupakan tonggak utama dalam pembangunan sukan masa ini.\nSebelum ini, sebanyak 60 peratus atlet wanita (18 daripada 30 orang atlet) telah melayakkan diri dalam penyertaan kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo.\nMajlis perasmian pembukaan webinar tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis,\u00a0 DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Penasihat DiRaja Yayasan Tuanku Fauziah.\nAntara ahli panel yang diundang bagi menjayakan webinar bulanan YTF edisi kelima pada kali ini ialah Bekas Jaguh Heptathlon Negara, Datuk Zaiton Othman; Bekas Ratu Trek Negara, Datuk Marina Chin; dan Bekas Penembak Paralimpik Malaysia, Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi.\nDalam majlis penutupan ini turut diundang atlet negara yang terdiri daripada Juni Karimah Noor Jamali (Perahu Layar), Nur Suryani Mohamed Taini (Menembak) dan Anis Amira Rosidi yang berasal dari Perlis (Keirin Berbasikal)." "Raja Muda Perlis Menyantuni Rakyat Sempena Tahun Baharu Cina\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyantuni usahawan kedai bunga Ingrace Floral and Events, iaitu Raymond Lim Choon Guan bersama-sama keluarganya. Usahawan tersebut bersama-sama isterinya, Teou Siew Yan dan anak-anak berasa teruja dengan keberangkatan tiba DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di kedai mereka di Jalan Jublee Perak, Pusat Bandar Kangar pada petang semalam.\nRaymond Lim Choon Guan yang berasal\u00a0dari Tanjung Bungah, Pulau Pinang melewatkan pergerakan balik ke kampung untuk majlis makan malam perjumpaan tahunan bersama-sama ibu tersayang apabila dimaklumkan bahawa Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan singgah di kedai mereka. Kunjungan tersebut diatur oleh NGO One Centre Malaysia (OCM) Perlis beserta program Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan Ke-9 bagi Tahun 2022. Turut menyambut keberangkatan tiba baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif OCM Perlis, Muhammad Zamri Vinod Kalimuthu.\nAntara lain, penyerahan sumbangan daripada Sri Ananda Bahwan Group of Companies kepada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Mohd Nazim Mohd Noor turut diadakan di\u00a0lokasi\u00a0yang sama. Sumbangan tersebut akan disalurkan kepada tabung Projek DiRaja Kg Warna-warni Program Transformasi Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis hasil kerjasama MAIPs dengan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.\nSelain itu, Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan singgah menyantuni dan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs di rumah para asnaf, mantan tentera, iaitu Idrus Noor (71 tahun) yang menjaga isterinya yang memerlukan rawatan dialisis; Asri Alwi (71 tahun) yang lumpuh; dan Darus Mat Arshad (75 tahun) yang mengalami masalah kesihatan.\nDalam kunjungan tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah:\nSemoga Allah SWT mengurniakan kepada kita semua di negeri Perlis dan negara Malaysia ini keamanan dan keselamatan serta rakyat yang sihat, rajin, berdisplin, hidup bersih, sentiasa cekal berusaha dan bersatu padu." "Kemiskinan dan Peranan NGO\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nSemua orang ingin dilahirkan dalam keluarga yang kaya untuk merasai kehidupan yang selesa. Namun begitu, tidak semua bernasib baik dan mempunyai \u201ctuah\u201d seperti itu. Hanya orang yang hidup dalam kemiskinan mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan kehidupan susah dan bagaimanakah terpaksa mengharungi hidup dalam kemiskinan?\nKemiskinan merupakan masalah sejagat yang merujuk keadaan seseorang individu atau ahli masyarakat gagal mendapatkan keperluan asas untuk makanan, pakaian dan tempat tinggal. Terdapat juga taksiran yang menyatakan kemiskinan bukan semata-mata diukur pada pendapatan yang rendah sahaja, namun kemiskinan merupakan satu keadaan kekurangan atau kegagalan berfungsi dengan berkesan dalam masyarakat.\nSebagai contoh, keluarga yang tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk membeli keperluan makanan bagi seisi keluarga. Dalam hal ini, kemiskinan sukar untuk ditakrifkan kerana perkara ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor dan dimensi.\nJelas era pandemik dan bencana yang berlaku baru-baru ini memberikan kesan yang sangat mendalam kepada orang ramai, khususnya golongan yang kurang berkemampuan ataupun miskin. Maka demikian menjadi tanggungjawab bersama untuk mengambil berat dan berusaha membantu golongan yang kurang bernasib baik ini. Masyarakat tidak boleh memandang ringan terhadap isu ini, malah masyarakat harus mempunyai tanggungjawab sosial untuk bersama-sama membantu golongan yang memerlukannya.\nTanpa sebarang bantuan, keadaan sebegini akan mendorong mereka bersifat negatif, seperti mencuri atau merompak. Keadaan ini mungkin berakhir dengan kejadian yang tidak diingini atau kematian secara tidak sengaja. Seseorang yang ingin mencuri wang, dia mungkin tidak sengaja membunuh orang lain yang tidak bersalah semata-mata untuk mendapatkan apa yang diinginkan. Hal ini terbukti dilaporkan dalam artikel Labuan e-Journal of Muamalat and Society (LJMS). Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam sesebuah negara, kerana rakyat perlu hidup dalam persekitaran yang selamat.\n\nGolongan yang hidup dalam kemiskinan juga mempunyai peluang untuk menjadi lebih baik dan berjaya, serta dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara jika diberikan peluang, terutamanya dalam bantuan pendidikan seperti biasiswa Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Negeri dan sebagainya. Mereka tidak boleh diabaikan atau diketepikan sebagai aib atau tidak bernilai. Mereka juga dapat menyumbang kembali kepada masyarakat.\nMaka itu, masyarakat akan rasa kurang rasa bersalah terhadap mereka yang kurang bernasib baik, dapat menjalin lebih banyak persahabatan dan perpaduan. Hal ini boleh merapatkan jurang antara golongan yang kaya dengan yang miskin. Keadaan ini juga dapat mengurangkan gangguan sosial yang bukan sahaja menjejaskan pendidikan dan kesihatan dalam kalangan golongan miskin, malah menjejaskan masyarakat dan negara.\nTanpa wang, manusia tidak akan mendapat pendidikan, apatah lagi mengekalkan kesihatan yang baik. Oleh itu, isu ini meletakkan negara dan penduduk dalam bahaya kerana penyakit dapat merebak dengan cepat. Dengan pendidikan, masyarakat memperoleh kemahiran, mencipta perkara baharu dan teknologi yang lebih baik. Kemiskinan juga menyebabkan orang ramai berpindah ke negara lain untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik.\nKesan terhadap pendidikan adalah berbeza-beza bergantung kepada faktor ekonomi. Persekitaran ekonomi yang bagus memberikan kesan dan kebaikan kepada pendidikan dan dapat mengurangkan kemiskinan. Kebanyakan golongan miskin ini tidak mempunyai pendidikan yang sewajarnya. Sebahagian daripada mereka berjaya menamatkan sekolah menengah, tetapi bagi sesetengah mereka, pendidikan tidak begitu penting. Keadaan ini berpunca daripada kemiskinan, kurang minat terhadap pelajaran dan kurang pendedahan akan peri pentingnya pendidikan dalam kehidupan. Menurut sesetengah pihak, penting yang paling penting ialah wang kerana mereka boleh membeli barang untuk keperluan asas. Jika mereka boleh menyimpan sedikit wang untuk perkara lain, barulah mereka akan melanjutkan pelajaran.\nNamun begitu, ada juga yang berminat untuk melanjutkan pelajaran. Yang malangnya, kemiskinan merantai mereka daripada mencapainya. Kemiskinan bukan sahaja menghalang daripada mendapat pendidikan yang baik, malah hidup dalam kemiskinan juga bermakna mereka tidak mempunyai akses kepada Internet. Hal ini antara kelemahan yang besar kerana dengan Internet, mereka dapat memperoleh lebih banyak maklumat dan faedah melalui Internet.\nDalam konteks ini, pendidikan dapat membantu golongan miskin keluar daripada kemiskinan. Setiap orang mempunyai peluang untuk mendapat pekerjaan yang lebih baik sekiranya mereka mempunyai pendidikan yang bagus. Pendidikan adalah penting dalam mengurangkan kemiskinan. Pendidikan memainkan peranan dalam pembangunan dan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Di kebanyakan tempat, taraf pendidikan di luar bandar jauh lebih rendah berbanding dengan di bandar. Hal ini disebabkan oleh golongan ibu bapa sendiri hanya mempunyai pendidikan asas.\nDi kawasan luar bandar juga, kebanyakan ibu bapa mempunyai keluarga yang lebih besar. Mereka sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan supaya mereka dapat memperoleh sedikit wang untuk membeli makanan untuk menyara keluarga besar mereka kerana tidak mempunyai pekerjaan yang tetap. Sebagai contoh, dua anak pertama akan mengikut bapa ke dalam hutan berhampiran rumah untuk cuba mencari sesuatu yang boleh dijual di pasar seperti madu, cendawan, paku-pakis hutan, buluh, burung dan lain-lain. Anak ketiga dan keempat akan pergi ke anak sungai untuk menangkap ikan. Yang lebih muda pula akan membantu mencari ulam yang tumbuh liar di kawasan berdekatan rumah. Kebiasaannya, anak perempuan yang lebih tua tinggal di rumah, membantu kerja rumah dan menjaga adik-adik yang masih kecil. Anak yang lebih tua selalunya tidak berpeluang untuk bersekolah kerana ibu bapa tidak mampu menghantar kesemua anak mereka untuk mendapat pelajaran yang sewajarnya. Sebaliknya, mereka bekerja untuk menyara keluarga.\nSebahagian daripada mereka, biasanya tinggal di kawasan yang sangat jauh dan pendalaman, yakni tidak mempunyai akses kepada bekalan elektrik atau air. Ada yang tinggal berdekatan dengan pantai dan kebanyakan daripada mereka bekerja sebagai nelayan. Dalam situasi ini, bapa sebagai ketua keluarga akan ke laut dan ibu bekerja di industri kecil berhampiran serta menjual pelbagai jenis hasil laut seperti kerepek ikan, udang, ikan masin dan sotong kering. Dengan adanya pekerjaan ini, mereka mampu menjalani kehidupan yang lebih baik berbanding dengan keluarga yang tinggal di luar bandar.\nWalau bagaimanapun, pekerjaan ini tidak memberikan pendapatan yang stabil untuk mereka hidup dengan baik kerana pada musim tengkujuh, nelayan tidak dapat turun ke laut kerana risikonya terlalu berbahaya. Mereka tidak boleh keluar menangkap ikan dalam ombak yang ganas dan laut bergelora. Situasi ini menyebabkan mereka tidak mempunyai sumber pendapatan selama beberapa bulan semasa musim tengkujuh.\nTinggal berhampiran pantai, iaitu kawasan berpasir, bermakna mereka tidak boleh menanam sayur-sayuran sebagai bekalan makanan disebabkan oleh tanah di kawasan tersebut tidak sesuai untuk bercucuk tanam. Perkara ini agak sukar bagi mereka untuk mendapatkan pekerjaan sementara menunggu musim monsun berhenti. Situasi ini yang menyebabkan mereka berada pada paras kemiskinan dan memerlukan bantuan. Mungkin keluarga ini boleh cuba menanam sayuran di dalam pasu sekitar kawasan rumah mereka untuk menampung keperluan asas.\nSesetengah keluarga jatuh miskin kerana ibu atau bapa mempunyai penyakit yang berpanjangan. Kemiskinan dan penyakit berpanjangan menyebabkan keluarga kehilangan pencari nafkah keluarga. Isu kesihatan juga menyebabkan kos penjagaan kesihatan yang lebih tinggi, tidak mempunyai pendapatan tetap, menjejaskan pendidikan kanak-kanak dan masalah emosi. Isu kesihatan yang berpanjangan menyebabkan golongan miskin menggunakan sebahagian besar daripada pendapatan mereka untuk tujuan perubatan dan ini meningkatkan beban mereka yang sedia berat. Dalam situasi begini, peranan pihak zakat dan baitulmal agak penting dalam memastikan pengagihan kewangan yang baik dalam menyalurkan bantuan kepada yang memerlukan.\nDengan adanya pandemik COVID-19, keadaan menjadi bertambah lebih parah. Lebih ramai keluarga kehilangan pekerjaan dan jatuh ke garis kemiskinan. Apabila COVID-19 melanda Malaysia pada tahun 2020, masyarakat tidak boleh keluar bekerja dan hilang pendapatan. Ramai yang terjejas teruk disebabkan oleh pandemik ini. Namun begitu, rakyat Malaysia nasibnya agak baik kerana terdapat begitu ramai orang di luar sana yang sudi membantu.\nTerdapat banyak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan individu yang datang membantu golongan miskin dengan mengurangkan bebanan untuk membeli barang keperluan asas dan keperluan lain, malah banyak juga NGO dan individu membantu golongan terkesan ini. Mereka menawarkan bantuan dari segi pendidikan untuk memastikan anak-anak terus mendapat pendidikan yang sewajarnya, seterusnya selepas menamatkan pelajaran dan mendapat pekerjaan, mereka dapat membantu menyara keluarga dan juga menyumbang kembali kepada masyarakat.\nInisiatif ini dilihat dapat membantu golongan ini keluar daripada garis kemiskinan dan secara tidak langsung dapat membasmi kadar kemiskinan negara. Bantuan berbentuk sebegini sememangnya dapat meringankan beban keluarga yang memerlukan, lebih-lebih lagi dalam keadaan terdesak. Pada hakikatnya, bantuan daripada NGO atau badan kebajikan ini lebih mudah didapati dan lebih cepat tanpa melalui proses birokrasi.\nSebagai contoh, baru-baru ini di Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang telah dilanda banjir. Terdapat pelbagai NGO dan orang perseorangan datang membantu mangsa banjir dengan cepat. Bantuan dari segi makanan, barang keperluan dan tenaga yang dihulurkan sangat pantas. Maka demikian, hal ini dilihat betapa pentingnya badan amal dalam membantu mengurangkan beban golongan yang terjejas, terutamanya golongan yang sudah sedia miskin yang kehilangan harta benda.\nTanpa badan sebegini yang datang membantu, tidak dapat dibayangkan bagaimana nasib mangsa banjir tersebut jika hanya mengharapkan bantuan dari agensi kerajaan.\nDr. Wan Afezah Wan Abdul Rahman, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia." "MESCA Membina Semangat Sukarelawan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTiada sesiapa menduga bahawa banjir yang melanda sebahagian kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur pada Disember lalu telah meninggalkan kesan yang amat luar biasa kepada mereka yang terlibat \u2013 kehilangan nyawa, kerosakan harta benda, dan trauma yang terpaksa ditanggung.\nHal ini dikatakan demikian kerana kejadian banjir kilat yang disifatkan antara yang terburuk itu berpunca daripada taburan hujan yang lebat daripada kebiasaan. Hal ini juga mengakibatkan semua pihak \u2013 mangsa yang terlibat, pihak berkuasa dan pasukan penyelamat sukar untuk menjangkakan impak yang dibawa daripada banjir kilat yang melanda negara.\nMeskipun tragedi ini bukanlah yang pertama melanda Lembah Klang, namun keadaannya agak berbeza daripada banjir yang sebelumnya, khususnya banjir besar yang melanda Kuala Lumpur pada tahun 1971. Pada ketika itu, hampir 60 peratus kawasan bandar raya Kuala Lumpur ditenggelami air. Keadaan ini telah memaksa kerajaan pimpinan Perdana Menteri kedua, Yang Amat Berhormat (YAB) Tun Abdul Razak Hussein ketika itu mengisytiharkan Darurat Banjir Kebangsaan di seluruh negara pada 5 Januari 1971.\nSelepas itu (tahun 1971), beberapa kali bencana banjir turut direkodkan sebagai antara yang terburuk melanda Lembah Klang, iaitu pada Oktober 2001, Jun 2003, Jun 2007, Januari 2013 (Kuala Lumpur); Mac 2006 (Shah Alam); dan Februari 2013 (Puchong).\nTernyata bencana banjir yang melanda Lembah Klang baru-baru ini turut melanda beberapa buah negeri yang lain, antaranya termasuklah beberapa kawasan di Johor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Daripada kesemua bencana banjir yang melanda, kerajaan mengumumkan kerugian yang terpaksa ditanggung oleh negara mencecah RM6.1 bilion atau bersamaan dengan 0.40 peratus berbanding dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah kerugian tertinggi direkodkan melibatkan tempat kediaman, iaitu RM1.6 bilion dengan Selangor merekodkan jumlah kerugian tertinggi, iaitu sebanyak RM1 bilion. Hal ini diikuti dengan kerugian yang melibatkan kenderaan (RM1.0 bilion), pembuatan (RM900 juta), premis perniagaan (RM500 juta), pertanian (RM90.6 juta) dan aset awam serta infrastruktur (RM2 bilion).\nJumlah kerugian ini sudah cukup membuktikan bahawa bencana banjir sememangnya meninggalkan kesan yang dahsyat kepada mereka yang terlibat. Oleh itu, selain agensi kerajaan yang bertanggungjawab membantu mangsa banjir, khidmat sukarelawan juga ditagih.\nPada ketika ribuan mangsa banjir menanti bantuan yang tiba, sesungguhnya negara amat berbangga apabila tidak terhitung banyaknya bantuan sukarelawan yang tiba. Dari Perlis sampai ke Sabah, tanpa mengenal bangsa dan agama, serta fahaman politik, mereka tampil membantu mangsa sebagai tanda sebuah Keluarga Malaysia \u2013 menyelamatkan nyawa dengan memindahkan mangsa, menghulurkan sumbangan berbentuk barangan keperluan harian, membersihkan bangunan dan rumah mangsa banjir yang terjejas, dan memberikan khidmat kepakaran yang diperlukan oleh mangsa yang terlibat.\nDaripada individu, kepada badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan swasta \u2013 semuanya menadah tangan dan membanting tulang bersama-sama membantu bukan sahaja mangsa banjir yang terlibat, tetapi operasi membersihkan bangunan yang terjejas \u2013 sekolah, rumah ibadat dan sebagainya. Hal yang sedemikian turut dilakukan oleh Pasukan Sukarelawan Biro Sosial dan Kebajikan Persatuan Sukan dan Kebudayaan (MESCA), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang ditubuhkan pada 1 Januari 2022 bertujuan membantu sekolah yang terkesan akibat banjir. Pasukan yang terdiri daripada beberapa bahagian dan agensi di bawah KPM berjaya mengumpulkan 133 orang sukarelawan merangkumi Jemaah Nazir, Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Institut Aminuddin Baki (IAB), Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) dan Bahagian Pendidikan Khas (BPKhas).\nMenurut Pengerusi Pasukan Sukarelawan MESCA KPM, Tuan Haji Shafruddin Ali Hussin, MESCA berusaha mengambil inisiatif merealisasikan misi pembersihan operasi sekolah ini dengan menggerakkan pasukan sukarelawan bagi membantu lima buah sekolah yang terjejas akibat banjir, iaitu SMK Taman Sri Muda, Selangor (3 Januari 2022); SMK Bentong, Pahang (4 Januari 2022); SK Kuala Paya dan SK Pogoh, Johor (9 Januari 2022); serta SMK Clifford, Pahang (10 Januari 2022). Antara aktiviti yang dijalankan di sekolah tersebut termasuklah membersihkan kawasan pertanian, dan mencuci bilik darjah, bilik khas serta persekitaran kawasan sekolah. Selain bantuan tenaga, pasukan sukarelawan juga turut menyumbang peralatan seperti mesin pencetak dan bahan bacaan untuk dimanfaatkan oleh warga sekolah.\n\u201cPasukan Sukarelawan MESCA KPM telah melaksanakan lima aktiviti sukarelawan melibatkan lima lokasi yang dilanda banjir merangkumi Selangor, Pahang dan Johor,\u201d ujar Tuan Haji Shafruddin Ali Hussin.\nTambah beliau lagi, kumpulan sukarelawan yang digerakkan telah dibahagikan mengikut lokasi, iaitu Jemaah Nazir di SMK Taman Sri Muda, Selangor yang melibatkan 25 orang sukarelawan; Jemaah Nazir di SMK Bentong, Pahang dengan pelibatan 24 orang sukarelawan; DBP, BPI dan IAB di SK Kuala Paya, Johor yang disertai oleh 22 orang sukarelawan; Bahagian Pembangunan Kurikulum, BPLTV, dan BPKhas\u00a0 di SK Pogoh, Johor dengan penyertaan 42 orang sukarelawan; dan Jemaah Nazir di SMK Clifford, Pahang yang melibatkan 20 orang sukarelawan.\n\u201cSecara keseluruhannya, sebanyak 133 orang sukarelawan telah berusaha sedaya upaya membersihkan lima buah sekolah yang terlibat. Saya percaya usaha murni ini sedikit banyak dapat membantu warga sekolah tersebut untuk bersama-sama mengharungi pascabanjir yang lebih mencabar bagi memastikan sekolah yang terlibat dapat beroperasi seperti biasa,\u201d jelas Tuan Haji Shafruddin Ali Hussin.\nTernyata usaha keras sukarelawan di seluruh Malaysia banyak membantu meringankan beban mangsa banjir untuk bangkit semula menghadapi kehidupan yang mendatang. Sehubungan dengan itu, jasa\u00a0 mereka ini sewajarnya dihargai oleh semua pihak. Malah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda\u00a0Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, turut menzahirkan pujian atas semangat\u00a0 para sukarelawan yang tampil membantu dalam bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini.\n\u201cTerima kasih kepada badan bukan kerajaan dan sukarelawan yang terbabit untuk membantu. Saya (Beta) difahamkan ada kawan-kawan dari Kelantan dan Pahang pun turun untuk bantu. Ini menunjukkan semangat mereka untuk membantu mereka yang memerlukan.\u201c Baginda bertitah sedemikian ketika menyantuni mangsa banjir di Masjid Taman Sri Muda, Shah Alam,\u00a0 pada 25 Disember lalu.\nSelain itu, Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob turut memuji keprihatinan sukarelawan di negara ini dan beliau mengharapkan kerja sukarelawan akan tetap diteruskan pada waktu yang sukar, iaitu ketika menghadapi pascabanjir.\n\u201cKerajaan sangat menghargai komitmen dan keprihatinan kakitangan pelbagai agensi, badan bukan kerajaan dan sukarelawan yang sangat menitikberatkan kebajikan mangsa banjir, bukan hanya semasa bencana itu sebaliknya diteruskan sehingga pascabanjir,\u201d ujar beliau.\nKepentingan semangat sukarelawan tidak dapat dinafikan, lebih-lebih lagi dalam keadaan bencana yang tidak pernah dijangka. Sebagai sebuah Keluarga Malaysia, membantu sesama kita pastinya akan mengukuhkan hubungan antara kaum, membentuk jati diri yang tinggi nilainya, dan akan menjadikan kita sebagai sebuah bangsa yang \u201ckuat\u201d dan disegani." "Menelusuri Pentadbiran Jepun di Johor\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGenerasi hari ini tidak begitu ramai yang benar-benar belajar dan memahami sejarah. Sesetengah orang berpendapat bahawa mempelajari sejarah hanya membuatkan rakyat mengenang masa lampau yang begitu memilukan, malah menyalakan api kebencian kepada sesetengah pihak dan hal ini hanya cuma mengeruhkan keamanan dan perpaduan yang telah utuh terbina, apatah lagi dengan kesediaan generasi hari ini yang bersedia menghadapi cabaran globalisasi dan sentiasa berfikir dinamik mendepani bangsa lain di dunia yang lebih maju pencapaiannya, khususnya dalam bidang teknologi tertentu.\nSetiap orang mempunyai sudut pandang berbeza apabila menyentuh isu sejarah dan kenegaraan.\nHal ini demikian kerana ada yang berpendapat bahawa kepantasan hidup era digital mendesak untuk melihat masa depan yang lebih jauh dan mesti bersedia bergerak lebih pantas sepantas teknologi yang berkembang pesat. Jepun antara contoh terbaik generasi kini yang meneliti pencapaian kemajuan berdasarkan kisah sejarah luka yang pernah terlakar dalam kanvas sejarah negara yang perlahan-lahan terpadam dengan kehebatan pencapaian masyarakatnya.\nDasar Pandang ke Timur (tahun 1982) dan Dasar Pandang Ke Timur 2.0 (tahun 2019) yang diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, semasa menjadi Perdana Menteri Malaysia keempat dan ketujuh, menjadi era penting memugar serta mendimensipositifkan budaya serta amalan berdaya saing orang Jepun yang bangkit daripada kemusnahan, selepas berlakunya peristiwa tragedi pengeboman bom atom di Nagasaki dan Hiroshima pada 6 Ogos 1945 semasa Perang Dunia Kedua.\nPeristiwa ini merupakan agenda \u201cmembunuh\u201d Jepun sehingga menjadi debu oleh kehampaan Barat yang tidak berjaya memujuk Jepun berdamai di meja perundingan. Akhirnya, nuklear yang terhasil daripada sebutir bom itu berjaya meranapkan keangkuhan Jepun.\nMenyedari rakyat yang tidak bersalah telah menjadi korban, akhirnya Jepun tunduk kepada takdir ini. Namun begitu, tidak bermakna Jepun akan selamanya tunduk. Mereka akan bangkit membuktikan bangsa Jepun tidak pernah tidur mahupun mati walaupun tanah air, bandar serta rakyat Jepun banyak terkorban semasa tragedi yang dikenang seluruh dunia itu.\nDi mana-mana sahaja di seluruh dunia membincangkan atau berpolemik tentang kekejaman yang pernah berlaku akibat pendudukan tentera Jepun di satu-satu negara. Jarang-jarang kita dikongsikan tentang sisi positif pendudukan Jepun, sama ada berkaitan dengan orang Jepun yang tinggal bersama-sama masyarakat setempat, tentera Jepun dan sebagainya.\nPerspektif yang berbeza tentang pendudukan Jepun daripada sejarah klise kekejaman mereka, ternyata membuka dimensi lebih luas kepada masyarakat umum tentang sejarah pendudukan Jepun di Johor, khususnya yang dikongsikan oleh Encik Mohd Zulfadli bin Md Maarof, Pengarah Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor baru-baru ini melalui webinar Warisan Johor Bahru yang bertajuk Johor Dalam Era Pentadbiran Jepun.\nProgram webinar yang diadakan bersempena dengan Perisytiharan Majlis Bandaraya Johor Bahru yang ke-28 ini dianjurkan oleh Perpustakaan Sultan Ismail (PSI), Majlis Bandar Raya Johor Bahru (MBJB) dan Persatuan Lisan Sejarah Malaysia yang melibatkan enam orang panel sejak sesi pertama yang diadakan pada 27 Disember 2021.\nPengalaman hampir 20 tahun dalam bidang arkib dan rekod telah menemukan banyak pendokumentasian yang menarik dan jarang-jarang dikongsikan kepada umum. Menurut beliau, masyarakat Jepun terlebih dahulu telah membina hubungan dengan rakyat jelata Johor dan dengan pendekatan oleh masyarakat Jepun ini telah mewujudkan keyakinan bahawa Jepun akan membantu kemajuan Johor.\nDalam pembelajaran pendidikan sejarah, masyarakat hanya didedahkan tentang kemaraan tentera Jepun yang bermula dari Kota Bharu sehinggalah berjaya menguasai Tanah Melayu hingga ke Singapura. Apa yang menariknya Jepun di Johor telah bermula pada tahun 15 Januari 1942 apabila berjaya menguasai Muar terlebih dahulu.\nDalam rentetan sejarah Jepun menguasai Johor, pelbagai peristiwa penting yang diakibatkan oleh kesan kemaraan tentera Jepun ini, antaranya termasuklah sebelum tentera Jepun mara ke Johor Bahru, tentera Jepun terlebih dahulu tiba di jalan Gunung Pulai di daerah Pontian bersempadan daerah Johor Bahru dan Kulai. Selepas itu, tentera Jepun meletupkan Tambak Johor penghubung utama Singapura dan Johor Bahru. Terputusnya jalan perhubungan utama ini, menjadi episod bermulanya kejayaan Jepun meleraikan simbol erat kerjasama British dan Kerajaan Johor sebelum ini. Tambak yang mula dibina pada tahun 1909 dan mula dibuka pada tahun 1923 amat penting ketika pemerintahan DYMM Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar yang menghubungkan Singapura dan Johor.\nJohor Bahru kemudiannya telah dihujani ledakan meriam oleh tentera Jepun yang mereka halakan dari arah Keranji dan Woodlands, Singapura. Kejadian ini telah menyebabkan beratus-ratusan orang Cina di Johor Bahru terkorban dan sebelum serangan ini dilakukan, tentera Jepun telah meminta Dato\u2019 Onn Jaafar dan semua orang Melayu dipindahkan ke satu kawasan yang lebih selamat di Johor Bahru. Menjelang Mac 1942, penguasaan tentera Jepun di Johor telah bertapak kukuh dan ketika ini Gabenor Jepun telah mula mentadbir Johor.\nLebih menariknya tentang sejarah penguasaan Jepun di Johor ini ada pengaruhnya dengan persahabatan yang terjalin antara pentadbiran Kerajaan Johor dengan Maharaja Jepun. Kehadiran tentera Jepun tidak menjadi ancaman kepada Kerajaan Johor ketika itu walaupun Johor Military Forces menerima kesan akibat daripada pendudukan ini, yakni apabila dibubarkan oleh pihak bersekutu, semasa itu Jepun sudah pun menguasai utara negeri Johor. Hal ini sama sekali tidak menjejaskan Jepun untuk mentadbir Johor. Hal ini ada direkodkan oleh Mejar Mohd. Said Sulaiman dan disimpan rekodnya di Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor.\nDi Johor, Gabenor Itami telah menjalankan pentadbirannya dengan sistematik, dengan hasrat menonjolkan Jepun mempunyai pentadbiran yang lebih tersusun dan Johor akan mendapat manfaatnya daripada pelaksanaan strategi pentadbiran ini. Dalam hierarki pentadbiran, gabenor merupakan ketua pentadbir.\nBerdasarkan rekod, Zulfadli turut memaparkan carta pentadbiran Jepun di Johor dengan menyaksikan dua jabatan utama telah diwujudkan bagi memudahkan pentadbiran Jepun ketika itu. Jabatan pentadbiran awam diwujudkan bagi mengawal selia 37 lagi jabatan yang telah pun sedia ada yang diwujudkan di bawah pentadbiran Kerajaan Johor, selain itu menambahkan lagi keberkesanan pentadbiran kepada semua wilayah, diwujudkan pula sektor bandar dan luar bandar oleh pentadbiran Jepun ini.\nPasukan tentera merupakan jabatan yang amat penting dalam pentadbiran Jepun di Johor untuk memastikan misi mengawal dan memastikan seluruh rakyat mematuhi peraturan dan pentadbiran Jepun ketika itu. Di bawah pasukan tentera dibentuk divisyen yang akan memfokuskan matlamat agar seluruh kawasan pentadbiran akan dapat dipantau dan diselia dengan berkesan.\nBerdasarkan penelitian, kaedah pentadbiran Jepun di Johor berbeza dengan pentadbiran mereka di Jepun. Di negara jajahan, mereka melaksanakan pentadbiran awam berserta dengan ketenteraan. Formulasi ini dilihat oleh pentadbiran Jepun sebagai pendekatan yang akan dapat mengurus tadbir Johor secara keseluruhan. Berdasarkan carta pentadbiran Jepun di Johor, urus tadbir Jepun memfokuskan pembinaan hubungan pemerintahan bertentera dapat diterima oleh rakyat Johor ketika itu.\nGabenor atau disebut chokan adalah ketua pentadbir dan kemudian di bawahnya terdapat tiga pentadbir utama yang membantu pentadbirannya, iaitu Sumucho (Ketua Jabatan Am), Sangyobucho (Ketua Jabatan Industri) dan Keimubucho (Pesuruhjaya Polis). Pentadbiran berstruktur ini dilanjutkan dengan pewujudan Somu Ka (Pejabat Pentadbiran Am), Sangyo Ka (Pejabat Industri) dan Keini Ka (Pejabat Polis).\nPerihal keselamatan dan kesejahteraan masyarakat ketika itu juga menjadi fokus kepada pentadbiran Jepun di Johor, khususnya berkaitan dengan bekalan makanan. Melalui Sangyo Ka (Pejabat Industri), pentadbiran Jepun mewujudkan jabatan ini agar dapat meningkatkan bekalan makanan dan mentadbir pengagihan makanan kepada rakyat Johor. Melalui jabatan ini, pihak Jepun dapat mewujudkan kawalan produk pertanian. Selain itu, saliran dan pengairan untuk tujuan pertanian juga dipantau oleh Sangyo Ka agar menepati cara Jepun mengendalikan pertanian. Berdasarkan rekod, Sangyo Ka oleh Jepun ini telah mentadbir pertanian di Johor meliputi pembersihan kawasan untuk tanaman, berkembangnya ilmu veterinar, perikanan, perdagangan dan industri, wujudnya mata wang atau disebut duit Jepun dan pengagihan barang keperluan hidup kecuali makanan.\nPada era ini, Jepun memperkenalkan penanaman padi kering di sesetengah kawasan seperti di Endau kerana hasil yang lebih cepat dan mudah diuruskan berbanding dengan padi berair yang diperkenalkan oleh pertanian British. Melalui Syong Ka ini, Jepun hendak memastikan bekalan makanan kepada pasukan tenteranya dapat dibekalkan secukupnya berbanding dengan agihan kepada rakyat Johor itu sendiri.\nSeperkara yang dapat dirujuk melalui rekod arkib ialah mengenai Jeikidan, iaitu organisasi masyarakat luar bandar yang diwujudkan oleh Keini Ka (Pejabat Polis). Jeikidan ini bertujuan untuk membantu pihak polis memaklumkan segera kejadian yang bertentangan dengan matlamat Jepun kepada kempetai. Masyarakat ketika itu melihat pihak yang terlibat dengan Jeikidan ini sebagai tali barut Jepun.\nStigma tali barut Jepun ini sebati dalam sejarah lisan masyarakat dan menganggap mereka ini sebagai pengkhianat bangsa.\nSekiranya tertangkap berdasarkan maklumat yang telah disampaikan oleh Jeikidan, mereka ini sudah pasti akan dihukum dan diseksa oleh tentera Jepun. Jeikidan ini diberikan kuasa untuk menangkap pihak yang dianggap sebagai penjenayah yang tidak berbahaya. Kebanyakan mereka yang direkrut sebagai mata Jepun ini berusia antara 16 hingga 45 tahun.\nSelain itu, rekod arkib yang menyimpan tentang khazanah pentadbiran Jepun ini ialah mengenai Somu Ka, iaitu Pejabat Pentadbiran. Oleh sebab Kerajaan Johor mempunyai pentadbiran yang lengkap dan bersistematik, maka pentadbiran Jepun di Johor hanya perlu meneruskan segala perancangan dan jabatan yang telah sedia ada. Pihak Jepun hanya perlu menambah sistem yang sedia ada bersesuaian dengan pentadbiran ketenteraan yang mereka laksanakan kepada pentadbiran di Johor.\nMelalui Somu Ka, Jepun dapat mentadbir hal ehwal organisasi dan rekod perkembangan rakyat Johor seperti yang diperlukan dan menepati pendekatan yang mereka laksanakan kepada pentadbiran mereka di Johor. Cap meterai pegawai dan pejabat juga digunakan dalam surat dan dokumen yang dikeluarkan dari pejabat ini. Sudah pasti melalui Somu Ka, pentadbiran dan pengawasan kepada pejabat lain di bawah kawalan Somu Ka dapat dilakukan. Melalui pentadbiran ini juga dasar untuk rakyat digubal dan dilaksanakan serta propaganda Jepun dapat disebarluaskan agar difahami oleh rakyat Johor. Dengan cara ini akan dapat memperkukuh pengaruh Jepun di Johor, seterusnya memudahkan Jepun memanfaatkan sumber ekonomi Johor yang telah kukuh sebelum itu.\nYang menariknya, pemantauan terhadap penggunaan kenderaan dan bahan api untuk urusan pentadbiran Jepun di Johor juga dilakukan oleh pentadbiran pejabat ini. Melalui pentadbirannya, Jepun mengutamakan kursus dan latihan kepada kakitangan agar mereka mempunyai kemahiran yang khusus berdasarkan keperluan pentadbiran Jepun di Johor.\nAntara yang menjadi tumpuan kepada latihan dan kursus ialah mempelajari bahasa Jepun. Melalui jabatan ini juga hal-hal berkaitan masyarakat umum akan ditangani oleh mereka dan nazir pejabat kerajaan juga diwujudkan agar pelaksanaan pentadbiran dapat dilaksanakan secara terancang berdasarkan dasar Jepun di negara jajahannya.\nSejarah tentang pentadbiran Jepun dari sumber arkib ini amat menarik untuk dikaji dengan lebih mendalam. Hal ini demikian kerana melalui kajian yang komprehensif sudah pasti kita akan menemukan pendekatan yang lebih berkesan telah dilakukan oleh pentadbiran Jepun di Johor semasa itu. Pentadbiran Jepun ini seolah-olah mendapat restu daripada pentadbiran Kerajaan Johor ketika itu. Hal ini merupakan satu lagi persoalan yang mungkin akan terungkai bagi melihat kerjasama ini sama ada berbentuk desakan ataupun satu sinergi yang dicemburui oleh British.\nKesemua persoalan ini masih lagi tiada jawapannya, dan sudah pasti pendedahan ini mampu menyuntik satu aspirasi kepada generasi hari ini untuk memugar dan memahami peri pentingnya pengukuhan hubungan antara Jepun dengan Malaysia. Tidak mustahil sejarah yang pernah berlaku di Johor ini adalah satu percikan daripada misi dan visi negara matahari terbit itu yang tidak dapat direalisasikan sepenuhnya.\nUntuk mendapat lebih lanjut mengenai perkongsian Pentadbiran Jepun di Johor ini, bolehlah mengikuti terus perkongsian ini melalui Facebook rasmi Majlis Bandar Raya Johor (MBJB), atau e-mel [email\u00a0protected] atau hadir terus ke Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor di Tingkat 7, Blok A, Bangunan Wisma Persekutuan, Johor Bahru, Johor atau melalui talian 07-2282053." "DBP Menyahut Proses Pemerkasaan Ulang Tahunnya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nDewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah penjenamaan semula Balai Pustaka, sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pelajaran yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 di Johor Bahru, hasil cadangan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III pada bulan September, 1956. Pada tahun 1959, barulah Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 digubal dan menjadikannya sebuah badan berkanun yang diselia oleh Lembaga Pengelola setelah lebih kurang dua tahun beribu pejabat di Kuala Lumpur.\nFungsi DBP adalah selaras dengan tujuannya yang tercatat dalam Akta DBP (semakan tahun 1978, pindaan dan peluasan 1995), iaitu pertama; untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi, kedua; untuk memperkembangkan bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan, ketiga; untuk mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku-buku, majalah-majalah, risalah-risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan dalam bahasa-bahasa lain, keempat; untuk membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan; untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul; dan kelima untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya ia akan digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.\nDBP mentakrifkan bahasa antaranya sebagai sistem lambang bunyi suara yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam sesuatu kelompok manusia untuk melahirkan perasaan dan fikiran. Bahasa juga ditakrifkan sebagai kata-kata yang disusun menurut tatabahasa dan digunakan oleh seseorang dalam percakapan atau tulisan.\nSecara umumnya, takrifan bahasa itu termasuklah tulisan dan isyarat yang memanfaatkan anggota badan mahupun apa-apa\u00a0jua alat seperti tanda, lambang, asap, bendera dan bunyi di persekitaran untuk menyampaikan maksud tertentu.\nBahasa Melayu merupakan bahasa pemerintah Alam Melayu dan rakyatnya yang memiliki ketamadunan semasa yang dihormati selewat-lewatnya sejak kurun ke-7 Masihi. Mereka yang celik sejarah akan bersetuju bahawa bahasa Melayu dan tulisan Jawi merupakan medium keilmuan tinggi dunia yang tidak hanya terbatas dalam pengajian politik, ekonomi, teknologi maritim\u00a0dan pengurusan logistik buat suatu tempoh yang menjangkau ratusan tahun.\nPendek kata,\u00a0bahasa Melayu banyak menyimpan khazanah bangsa Melayu yang berdaulat. Ilmu yang tersimpan dalam ratusan ribu mungkin mencapai jutaan naskhah Melayu di luar negara seperti yang dilaporkan tidak boleh dinafikan menjadi rujukan\u00a0para sarjana Barat untuk membina tamadun moden dunia pada hari ini.\nNegara Barat bermula dengan Portugis seawal kurun ke-16 mula memunggah khazanah tersebut dari kota pelabuhan Melaka bersama-sama\u00a0harta kekayaan lain Kesultanan Melayu Melaka. Sejarah membuktikan negara Barat hanya mampu bangkit apabila mereka menggali ilmu di dunia Islam melalui penguasaan bahasa Arab dan perkara yang sama berlaku melalui penguasaan bahasa Melayu.\nPada hari ini, peranan DBP semakin mencabar kerana isu penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta penguasaannya dalam kalangan pemimpin dan urusan rasmi semakin berbangkit. Keperluan berbahasa Melayu bukan setakat sebagai alat komunikasi semata-mata bahkan kepentingannya dalam konteks pengikat jiwa warganegara Malaysia yang pelbagai agama, keturunan, etnik dan kepercayaan politik sebagai wadah perpaduan nasional.\nJusteru, gagasan pengantarabangsaan bahasa Melayu yang dicetuskan oleh YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini perlu dilihat secara positif dan membina. Bahasa Melayu ialah watan negara ini, termasuklah Sabah dan Sarawak yang terletak dalam wilayah Alam Melayu sejak ratusan atau mungkin ribuan tahun dahulu lagi.\nTiada kumpulan etnik mahupun bangsa akan pupus sekiranya masih mengekalkan jati diri watannya. Perkongsian nilai yang berteraskan asimilasi bahasa kebangsaan perlu diperkukuh untuk terus membangun, mempertahankan\u00a0dan melestarikan jati diri negara bangsa seiring dengan kemajuan dunia.\nKedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menurut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan tidak tertakluk pada Perkara 8 yang menjadi tadbir urus aspek diskriminasi. Begitu istimewa letak duduk bahasa Melayu di sisi undang-undang negara. Pemakaian selain bahasa Melayu terutamanya bahasa Inggeris dalam mahkamah, dewan perundangan dan apa-apa jua bagi maksud rasmi bukanlah suatu hak, sebaliknya satu pengecualian yang tersyarat di bawah Undang-undang Persekutuan.\nSyarat penggunaan selain bahasa Melayu antaranya termaktub dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, Akta Pendidikan 1996, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Syarikat 2016. Penguasaan dalam bahasa Inggeris kerana kepentingan semasanya tidak wajar membelakangkan pemakaian bahasa kebangsaan.\nKuasa yang diberikan oleh perenggan (b) Perkara 152(1) kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk memelihara penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain pastinya perlu dibaca bersama-sama semangat sumpah kewarganegaraan dalam Jadual Pertama Perlembagaan. Hal ini demikian kerana seperti dinyatakan sebelum ini ialah bahasa jiwa bangsa.\nUntuk menjelaskan lagi kedudukan tersebut, petikan mukadimah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 tidak boleh diabaikan kerana peruntukan tersebut merupakan asas kepada pemberian kewarganegaraan, iaitu, \u201c.and there should be a common form of citizenship in the said Federation to be extended to all those who regard the said Federation or any part of it as their real home and the object of their loyalty:\u201d\nKomitmen Perdana Menteri dan resolusi Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu pada 24 Mei 2022 perlu dijadikan terma untuk memperkasakan fungsi DBP sebagai pihak berkuasa bahasa utama selepas Yang di-Pertuan Agong. Sementara itu, DBP perlu lebih proaktif untuk melaksanakan aktiviti penterjemahan dan pengistilahan agar pemakaiannya sebagai teks sahih undang-undang, amalan di mahkamah, dewan perundangan dan apa-apa jua disiplin ilmu tidak lagi boleh dipertikaikan.\nLantaran hal itu, pindaan untuk menguatkuasakan amalan bahasa kebangsaan ke tempat yang sewajarnya bukan sahaja perlu dilakukan ke atas Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959, malah Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.\nSetiap kementerian dan agensi kerajaan perlu menterjemahkan komitmen Perdana Menteri dalam polisi masing-masing bersekali dengan penguatkuasaannya. Kaedah pengajaran bahasa Inggeris boleh dinilai secara berkala untuk memastikan polisi pemakaian bahasa kebangsaan berjalan seiring dengan dasar pembangunan negara. Kajian lapangan menunjukkan keupayaan manusia tidak terhad dengan hanya satu bahasa. Kebolehan untuk menguasai suatu bahasa boleh dicapai melalui minat dan kaedah pembelajaran yang betul.\nPenguasaan dalam bahasa Melayu tidak boleh disifatkan akan menjejaskan pembangunan ekonomi, kemajuan teknologi dan hubungan antarabangsa kerana ternyata kebangkitan kembali negara Jerman, Jepun dan Turki, serta penguasaan China di persada dunia pada hari ini dalam pelbagai bidang tidak bergantung pada bahasa Inggeris, bahkan mereka berbangga akan bahasa watan masing-masing.\nYang perlu diusahakan bersama adalah menggali semua khazanah ilmu Melayu yang diwarisi dan mendalami ilmu semasa secara berstrategik untuk mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu terkemuka dunia.\n\u00a0\n***********************************************************************************\nDatuk Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain,\nPengasas Jurisprudens Watan/Fakulti Pengurusan Industri,\nUniversiti Malaysia Pahang." "Manusia Pertama Jalani Pembedahan Pemindahan Jantung Babi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada awal Januari lalu, dunia digemparkan apabila seorang lelaki warga emas, David Bennett, berusia 57 tahun, dari Maryland, Amerika Syarikat (AS) menjadi manusia pertama yang hidup dengan jantung babi yang diubah suai secara genetik.\nBennett berjaya mengharungi pembedahan berisiko yang mengambil masa selama sembilan jam yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Maryland.\nDalam prosedur tersebut, pakar bedah menggunakan jantung babi berusia satu tahun dengan berat 108 kilogram yang diternak khusus sebagai organ pengganti. Pemindahan itu dianggap sebagai harapan terakhir untuk menyelamatkan nyawa Bennett, walaupun masih belum jelas apakah peluang jangka panjangnya untuk terus hidup.\n\u201cSaya tahu keputusan ini ibarat melepaskan tembakan dalam gelap, tetapi ini merupakan pilihan yang terakhir,\u201c kata Bennett yang pada awalnya enggan menjalani pembedahan tersebut memandangkan risiko dan peluang kejayaannya agak tipis dan beliau tidak mahu menemui ajal di atas katil bedah.\nWalau bagaimanapun, doktor di pusat perubatan tersebut telah diberikan pengecualian khas oleh badan perubatan AS untuk menjalankan prosedur itu, atas dasar Bennett \u2013 yang menghidap penyakit jantung terminal dijangka tidak akan hidup lama. Maka itu, doktor memutuskan untuk tidak menjalani pemindahan organ manusia apabila mendapati Bennett mempunyai tahap kesihatan yang sangat teruk.\nJantung babi yang digunakan dalam pemindahan tersebut telah diubah suai secara genetik untuk menyingkirkan beberapa gen yang boleh menyebabkan organ yang dipindahkan ditolak oleh tubuh Bennett.\nTerdapat 10 gen yang diubah suai, setiap satu daripadanya bertanggungjawab untuk mengelak daripada pertumbuhan berlebihan dalam tisu jantung babi yang telah dikeluarkan.\nTiga gen lain yang menyebabkan penolakan organ turut dibuang, manakala enam gen mengawal penerimaan organ dalam tubuh manusia pula dimasukkan dan diperbanyak. Proses tersebut telah dilakukan oleh syarikat bioteknologi yang berpangkalan di Virginia, AS.\nSemasa pembedahan, Bennett menggunakan imunosupresan standard untuk memastikan sistem imunisasinya tidak menyerang organ baharu itu.\nBennett kini masih dalam pemantauan doktor meskipun sudah mampu bernafas tanpa bantuan alat pernafasan ataupun ventilator. Walau bagaimanapun, beliau masih perlu menggunakan mesin ECMO untuk membantunya mengepam darah ke seluruh badan.\nSecara teorinya, pemindahan organ daripada spesies lain kepada manusia yang disebut xenotransplantation bukanlah sesuatu yang baharu. Walau bagaimanapun, kebanyakan eksperimen yang dilakukan jarang-jarang sekali berjaya. Pada tahun 1984, seorang bayi yang dikenali sebagai Baby Fae, menerima jantung babun. Malangnya, organ baharu itu hanya mampu menyambung hayat bayi tersebut selama 21 hari.\nPada ketika ini, direkodkan sebanyak 17 orang mati pada setiap hari di AS disebabkan menunggu pemindahan organ, dengan lebih daripada 100 ribu orang dilaporkan berada dalam senarai menunggu.\nNamun begitu, hal ini berbeza daripada kes Bennett. Pasukan pakar bedah dari Sekolah Perubatan Universiti Maryland, yang diketuai oleh Dr. Bartley Griffith merupakan antara doktor yang bertanggungjawab melakukan proses pemindahan jantung tersebut.\nProgram xenotransplantasi tersebut turut diketuai oleh Dr. Muhammad Mohiuddin. Beliau merupakan seorang daripada pengasas program xenotransplantasi di Universiti Maryland, serta membangunkan ubat eksperimen yang berkaitan.\nBeliau juga berusaha meneruskan pembedahan uji kaji tersebut dengan mendapatkan kebenaran kecemasan daripada Food and Drug Administration (FDA) pada malam tahun baharu 2022. Kebenaran untuk eksperimen pemindahan jantung tersebut terpaksa dibuat kepada pesakit jantung peringkat akhir yang tidak mempunyai pilihan rawatan yang lain.\n\u201cProsedur tersebut berjaya memberikan maklumat yang berharga untuk membantu komuniti perubatan menambah baik kaedah yang berpotensi untuk menyelamatkan nyawa pesakit pada masa hadapan,\u201d kata Dr. Mohiuddin.\nNorman Shumway, pakar bedah perintis Universiti Stanford yang dianggap sebagai bapa pemindahan jantung terkenal menjelaskan bahawa xenotransplantation merupakan masa hadapan dan akan sentiasa ada. Xenotransplantation ialah pembedahan memasukkan organ haiwan ke dalam manusia yang merupakan idea terdahulu, iaitu sejak berabad lamanya yang telah dibangunkan semula beberapa kali disebabkan kemajuan teknologi dilihat mampu menawarkan harapan baharu untuk mengatasi pelbagai halangan saintifik yang tidak berkesudahan.\nBidang xenotransplan telah lama terperangkap pada peringkat praklinikal \u2013 menguji organ pada babun dan cimpanzi. Walau bagaimanapun, tubuh manusia merupakan tempat yang \u201ckurang mesra\u201d untuk organ haiwan. Apabila anda memindahkan satu organ haiwan ke tubuh yang lain, rangkaian gerakan pertahanan tubuh akan berlaku. Oleh itu, sesiapa sahaja yang ingin berjaya dalam xenotransplantation perlu menghasilkan strategi untuk menyekat atau mengetepikannya.\nHalangan pertama dan paling berbahaya ialah penolakan hiperakut. Dalam tempoh beberapa minit hingga jam pertama, antibodi manusia akan mengerumuni organ baharu dan sel yang lain sehingga mencetuskan keradangan. Hal ini menyebabkan platelet, iaitu sejenis sel darah yang merangsang proses pembekuan menghalang aliran darah ke dalam organ.\nEra moden pemindahan xenotransplantasi bermula pada awal 1960-an, apabila pakar bedah di Universiti Tulane memindahkan sebanyak 13 buah pinggang cimpanzi ke dalam tubuh manusia. \u00a0Pasukan perubatan dari Universiti Colorado pula mencuba prosedur itu sebanyak enam kali dengan menggunakan buah pinggang babun. Pada ketika itu, alat utama yang tersedia ialah ubat imunosupresif primitif. Hanya seorang pesakit terselamat selama lebih daripada beberapa bulan, manakala yang lain mati sama ada akibat penolakan atau jangkitan.\nPada tahun 90-an, muncul alat kejuruteraan genetik generasi pertama di dunia. Sebuah syarikat menerima kelulusan daripada FDA untuk ujian klinikal hati babi yang diubah untuk membawa sedikit gen manusia. Walau bagaimanapun, timbul beberapa isu yang mencetuskan malfungsi. Hal ini dikatakan demikian kerana babi membawa sejumlah virus yang dikenali sebagai retrovirus endogen atau PERV yang mustahil untuk dibasmi kerana wujud dalam genom dan dihasilkan sebagai virion (wujud di luar sel perumah dan terdiri daripada teras asid nukleik, lapisan protein dan dalam sesetengah spesies, sampul luar) berjangkit daripada semua sel babi dan menyebabkan zoonosis (penyakit yang boleh berjangkit kepada manusia daripada haiwan).\nPada tahun 1997, penyelidik di London mendapati PERV boleh menjangkiti sel manusia melalui kultur. Disebabkan itu, pada tahun yang sama, FDA telah menghentikan semua ujian xenotransplantasi sehingga penyelidik dapat membuktikan bahawa mereka telah membangunkan prosedur untuk mencegah jangkitan PERV kepada manusia.\nPada awal tahun 2000-an, David Ayares dari syarikat PPL Therapeutics, menggunakan teknologi DNA kombinasi dan pengklonan untuk menghasilkan DNA babi sebagai sumber organ. Syarikat itu telah membuat satu perubahan yang sangat penting dalam DNA haiwan dan mengganggu gen yang menghasilkan gula pada permukaan sel yang dipanggil alpha-Gal. Alpha-Gal merupakan gula yang membekalkan sel bakteria yang hidup di dalam usus manusia. Oleh itu, sistem imun mengembangkan pertahanan yang kuat untuk mengekalkannya dan tidak akan membenarkan jangkitan merebak ke dalam darah. Pertahanan ini sangat kuat dan\u00a0saintis menyedari bahawa hampir satu peratus daripada semua antibodi tubuh adalah bertujuan untuk mengenali alpha-Gal, iaitu susunan magnitud yang lebih besar daripada mana-mana sasaran imun yang lain.\nPPL Therapeutics bertukar nama menjadi Revivicor, iaitu syarikat yang meneruskan kajian dalam bidang xenotransplantasi. Kemudian, muncul ciptaan alat penyunting gen yang lebih tepat seperti CRISPR.\nPada tahun 2015, ahli biologi Universiti Harvard, George Church menggunakan CRISPR untuk memotong dan melenyapkan semua kesan virus dan menghasilkan baka babi tanpa PERV.\nPada tahun 2015, pakar bedah dan saintis Universiti Indiana menghasilkan babi yang \u201cbebas\u2019 alpha-Gal dan membuang dua antigen babi yang menyebabkan radang imun. Perubahan itu dipercayai mampu mengekalkan primat hidup setahun selepas menerima buah pinggang yang diubah suai.\nRevivicor kemudian telah menambah enam transgen dan tambahan dalam gen reseptor hormon pertumbuhan babi yang bertujuan untuk menghalang organ daripada menjadi terlalu besar untuk penerima manusia.\nBabi \u201csepuluh gen\u201c inilah yang digunakan oleh pasukan pakar bedah, Jayme Locke di Universiti Alabama dalam eksperimen pemindahan buah pinggang kepada seorang lelaki yang mati otak\u00a0 dan kumpulan pakar bedah di Universiti Maryland untuk pemindahan jantung. Walaupun mati otak, tubuh lelaki manusia masih boleh \u201cmelancarkan\u201d serangan imun. Tiada sesiapa menyangka, tiada tompokan biru muncul pada buah pinggang kerana darah beku, sebaliknya bertukar menjadi merah jambu. Dalam tempoh 20 minit, satu daripada buah pinggang tersebut menghasilkan air kencing! Kejayaan eksperimen di Universiti Maryland ini telah menggegarkan dunia.\nBiarpun begitu, masih terdapat perdebatan tentang berapa banyak perubahan yang benar-benar diperlukan untuk mencapai xenotransplant yang mampu bertahan lama? Sesetengah penyelidik mengatakan kejuruteraan haiwan yang berlebihan boleh menyukarkan penghasilan organ yang konsisten.\nApa-apa yang pasti, para saintis tidak akan mengetahui pendekatan manakah yang paling berkesan sehinggalah mereka mencuba xenotransplantasi pada manusia.\nNamun begitu, xenotransplantasi memerlukan kepakaran dari pelbagai bidang. Anda memerlukan jurutera genetik untuk membiak haiwan yang selnya tidak akan menghalang sistem imun manusia. Saintis haiwan juga perlu \u00a0memahami keanehan spesies ternakan untuk membesarkannya. Pakar imunologi juga diperlukan untuk membina ujian yang boleh meramalkan jika pesakit akan menolak organ haiwan dan membangunkan ubat-ubatan berkaitan untuk jangka masa panjang; memerlukan pakar penyakit berjangkit untuk meminimumkan risiko virus babi daripada menjangkiti manusia; dan pasukan pembedahan yang hebat.\nCabaran lain termasuklah membina kemudahan untuk menternak babi yang sesuai untuk pemindahan klinikal. Misalnya bangunan tertutup rapat berventilasi dan bertekanan sesuai untuk menghalang bakteria, virus dan kulat. \u00a0Hingga makalah ini ditulis, kedua-dua pasukan, iaitu dari Maryland dan Universiti New York telah mendapatkan organ daripada Revivicor yang mempunyai ladang di Blacksburg, Virginia, dan sekumpulan babi GalSafe di Iowa.\nKejayaan awal ini sudah tentu memberikan harapan kepada masalah kekurangan penderma organ manusia. Walau bagaimanapun, kejayaan ini masih jauh untuk menentukan sama ada pendermaan organ haiwan merupakan langkah yang terbaik pada masa akan datang.\nTerlalu awal untuk mengetahui bagaimanakah Bennett akan hidup menggunakan hati babinya?\nBennett bagaimanapun berharap melalui pemindahan organ tersebut akan membolehkannya meneruskan kehidupan.\nTiga hari selepas pembedahan, Bennett dilaporkan bernafas sendiri sambil dipantau dengan teliti oleh sepasukan doktor pakar yang terlibat.\nKami tidak pernah melakukan ini pada manusia dan saya suka berfikir bahawa kami telah memberikannya pilihan yang lebih baik daripada meneruskan terapi perubatan. Sama ada dia akan hidup selama sehari? Seminggu? Sebulan? Atau setahun?, saya tidak tahu,\u201d katanya." "Tahun Baharu Cina: PLUS Saran Pengguna Memasuki Lebuh Raya sebelum Pukul 9.00 Pagi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 PLUS Malaysia Berhad (PLUS) membuat persediaan rapi bagi memastikan pengguna lebuh raya menikmati perjalanan pulang yang selesa dan tidak mengalami kesesakan lalu lintas yang terlalu teruk.\nBerikutan itu, PLUS mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan dan panduan kepada orang ramai bagi merancang perjalanan yang lebih lancar.\nKetua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, TTA dilaksanakan bagi menguruskan peningkatan trafik yang mendadak sempena sambutan Tahun Baharu Cina bermula 28 Januari sehingga 6 Februari 2022.\nSelain itu, PLUS juga menyediakan pasukan PLUSRonda tambahan untuk membantu pengguna yang mungkin menghadapi masalah kerosakan kenderaan di lebuh raya. Pada masa yang sama, PLUS menjalinkan kerjasama dengan Polis Trafik (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di sepanjang lebuh raya selain menempatkan pasukan RELA untuk pengurusan trafik di plaza tol dan kawasan rehat.\nPengguna diingatkan agar sentiasa berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika berhenti di hentian Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah di sepanjang lebuh raya.\nBerdasarkan cadangan TTA, pengguna lebuh raya yang bertolak dari utara dan selatan serta mereka yang bertolak jauh dari ibu negara disarankan agar mula memasuki lebuh raya sebelum pukul 9.00 pagi untuk mengelakkan kesesakan. Di samping itu, pelanggan perlu memastikan baki kad Touch \u2018n Go atau Touch \u2018n Go e-Wallet (untuk transaksi RFID) mencukupi.\nTambah beliau, pemandu boleh memanfaatkan aplikasi seperti Waze atau Google Map untuk merancang perjalanan yang lebih efisien.\nKetua Pegawai Operasi PLUS itu turut berpesan agar merancang perjalanan yang teliti dan penyelenggaraan kenderaan juga perlu diberikan keutamaan bagi meningkatkan keselamatan, selain daripada pemakaian tali pinggang keledar keselamatan di tempat duduk hadapan dan belakang serta kerusi keselamatan kanak-kanak.\nPLUS juga telah menyediakan maklumat trafik melalui pelbagai saluran komunikasi PLUS sebagai rujukan kepada pemandu. Maklumat dan keadaan trafik di lebuh raya utama boleh diperoleh melalui platform media sosial PLUS seperti Twitter, Instagram, Facebook, LinkedIn, Youtube dan laman sesawang PLUS menerusi www.plus.com.my atau menggunakan Aplikasi PLUS untuk membantu anda merancang perjalanan." "TVET Menyasarkan Lebih Banyak Peluang Pekerjaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) secara telesidang semalam.\nMelalui mesyuarat MTVET kali ini, kerajaan mengumumkan pengiktirafan penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan\u2013Industri (Government\u2013Industry TVET Coordination Body, GITC)\u00a0 yang akan terlibat secara langsung dalam pembangunan modal insan TVET negara, khususnya berkaitan dengan keperluan kemahiran dan tenaga kerja.\nInisiatif ini dijangka akan memperkukuh simbiosis ekosistem TVET dalam menghubung pihak yang terlibat untuk merapatkan jurang antara permintaan dengan penawaran tenaga kerja.\n\nSehubungan dengan itu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion bagi memperkasa TVET melalui pelbagai inisiatif. Usaha ini amat signifikan bagi merealisasikan strategi dan inisiatif yang dirangka di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).\nKerajaan kini turut mengiktiraf Diploma Vokasional Malaysia (DVM) sebagai laluan ke rangkaian Universiti Teknikal Awam di Malaysia (MTUN), iaitu Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).\nSudah tiba masanya TVET menjadi pilihan utama belia dalam mempersiapkan diri untuk masa depan. Terbukti, TVET mampu melahirkan lebih ramai individu yang berkemahiran, terlatih dan berbudaya usahawan." "Kemahiran Vokasional Bantu Orang Kurang Upaya Hidup Sejahtera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra \u2013 Berikutan titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyahut saranan baginda untuk meningkatkan pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan, terutamanya golongan orang kurang upaya (OKU) dan golongan terjejas.\nSejak tahun 2019 hinggalah 2021, hampir 150 program telah diusahakan oleh UniMAP seiring dengan tema \u2018University Social Responsibility (USR)\u2019 di seluruh negeri Perlis. Antaranya termasuklah Lightboard Studio; Perlis Special Teens Centre Independent Living Centre (PesTec -ILC); Seberang Ramai Lestari; Program Kenali Penyakit Anda; Kursus Bahasa Inggeris kepada Angkatan Tentera Darat dari Kem Wilayah Utara; Amazing Science 3.0, Projek Tanaman Cendawan Menggunakan Sistem Kelembapan Optimum; Pemasangan Solar dan banyak lagi.\u201d \nDemikian kenyataan Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli semasa mempersembah maklum kepada Raja Muda Perlis ketika mengiringi baginda berangkat menyempurnakan perasmian Pameran Fotografi: Reflection oleh Jasni Hashim @ Ved Vedder di Galeri Bangunan Canselori UniMAP di Kampus Alam Pauh Putra.\nJasni merupakan seorang jurutera yang berkhidmat di Jabatan Pembangunan UniMAP sejak tahun 2003. Beliau sangat komited dan sering memanfaatkan masa di luar waktu pejabat untuk berkarya melalui lensa kamera. Jasni juga gemar merakamkan keindahan alam semula jadi, terutamanya ketika matahari terbit dan terbenam.\nDalam majlis perasmian tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail juga bertitah bahawa sebagai Tuanku Canselor UniMAP, sejak awal penubuhan UniMAP lagi, baginda akan turut serta memainkan peranannya dalam memastikan \u201cRakyat Perlis Hidup Sejahtera\u201d, khususnya OKU dan golongan yang kurang berkemampuan di negeri ini.\nSementara itu, Prof. Ts. Dr. Zaliman menerangkan bahawa Program Perlis Special Teens Centre-Independent Living Centre (PesTec-ILC) yang dilaksanakan oleh UniMAP merupakan satu daripada program khusus yang dilaksanakan untuk mendidik remaja dan belia OKU memiliki keperibadian, identiti dan nilai kerohanian yang tinggi bagi menangani masalah sosial seperti gangguan seksual, penyalahgunaan najis dadah dan kegiatan jenayah dalam masyarakat.\nDi samping itu, program ini adalah untuk melatih remaja dan belia OKU dengan kemahiran vokasional bagi memudahkan mereka hidup dalam masyarakat secara bebas dan menyumbang kembali kepada masyarakat dalam aktiviti ekonominya.\n\u201cPada zaman pandemik ini, UniMAP juga turut berkongsi kepakaran melalui program Lightboard Studio dengan fokusnya tertumpu kepada pelajar yang terpaksa belajar secara dalam talian kerana rata-rata mereka menghadapi masalah untuk mengadaptasi situasi berkenaan. Program ini bertujuan untuk kegunaan pengajaran dan pembelajaran dalam talian supaya lebih inovatif dan menarik,\u201d ujar beliau.\nTurut hadir bersama-sama dalam majlis ini\u00a0ialah Timbalan\u00a0Naib Canselor, pegawai serta dekan universiti." "Lebih 1.4 Juta PKS Ketinggalan dalam Digitalisasi Perniagaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBerdasarkan laporan, Malaysia memiliki lebih daripada 1.4 juta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan 76 peratus daripadanya ialah sektor industri mikro.\nWalau bagaimanapun, masih ramai lagi PKS yang tidak mengadaptasi peralihan perniagaan ke arah penggunaan digital secara meluas.\nMenurut Persatuan PKS Malaysia, kerajaan persekutuan perlu memperkasakan lagi inisiatif dalam memberikan pendedahan digitalisasi untuk meningkatkan produktiviti perniagaan kecil, seiring dengan peralihan syarikat besar.\nSelain itu, kurangnya pendedahan dan latihan berhubung dengan automasi dan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) kepada perniagaan kecil negara.\nBerdasarkan pemerhatian persatuan, kerajaan perlu menyediakan lebih banyak latihan, termasuklah membawa masuk pakar dari luar negara bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pemilik PKS.\nDengan adanya sokongan dan usaha kerajaan, langkah pemacuan digitalisasi perniagaan PKS Malaysia akan menjadi lebih signifikan dan terus mampan." "Paradigma Baharu Pengurusan Bencana Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKerajaan tidak menolak bahawa perubahan iklim menjadi satu daripada faktor yang menyebabkan bencana banjir melanda negara ini. Sehubungan itu, sudah tiba masanya kerajaan menjadikan respons bencana sebagai mata pelajaran utama di semua peringkat pendidikan.\nMenurut Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, pewujudan mata pelajaran utama dalam menangani bencana di semua peringkat pendidikan, sekolah, kolej dan universiti akan dilaksanakan supaya seluruh Keluarga Malaysia dapat menyesuaikan diri dengan perkara ini sebagai satu daripada kebiasaan baharu.\nKenyataan Perdana Menteri itu ternyata menarik perhatian banyak pihak yang rata-ratanya menyokong cadangan beliau. Hal ini dikatakan demikian kerana trauma akibat banjir \u00a0bukan sahaja berlaku dalam kalangan mangsa yang terlibat, tetapi seluruh rakyat di negara ini turut berkongsi duka yang sama.\nBanjir besar yang melanda negara pada penghujung tahun 2021 sememangnya mendapat perhatian bukan sahaja di negara ini, malah di kebanyakan negara. Selain liputan meluas di negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand, pada 4 Februari lalu, anggota Parlimen India turut bertafakur seketika sebagai memperingati mangsa banjir di negara ini.\nImpak banjir besar yang melanda sebahagian daripada kawasan di Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sarawak, sememangnya amat memilukan. Selain mengorbankan nyawa, banjir tersebut turut merosakkan harta awam dan persendirian. Hal itu, belum termasuk kesan psikologi yang entah bila akan berakhir.\nMaka itu, banyak pihak menuntut agar pendekatan Malaysia dalam menghadapi bencana banjir tidak seharusnya menggunakan pendekatan yang sedia ada atau masih di takuk lama. Hal ini bermaksud, perlu ada perubahan dalam menghadapi bencana ini yang pada akhirnya nanti akan menemukan jalan penyelesaian yang terbaik kepada kita, seterusnya mengurangkan impak akibat bencana yang melanda.\nMenjadikan bencana alam sebagai subjek utama pada setiap peringakt pendidikan seharusnya diambil perhatian dan tindakan. Hal ini dikatakan demikian kerana kaedah ini telah lama diterapkan dalam sistem pendidikan di Jepun dalam memberikan kefahaman kepada generasi muda tentang cara yang terbaik untuk terus hidup bersama-sama bencana alam.\u00a0 Sebagai buktinya, lihat sahaja bagaimana Jepun bangkit daripada tsunami besar tahun 2011 \u2013 sistem pengurusan krisis mereka amat efisien sehingga mereka tidak memerlukan bantuan daripada mana-mana negara untuk meneruskan kehidupan pascabencana. Bencana demi bencana dalam sejarah Jepun telah berjaya mendidik rakyat negara itu, dari peringkat atasan hingga segenap lapisan rakyat untuk memainkan peranan masing-masing sebaik-baik sahaja bencana itu tiba.\nMaka itu, bencana banjir yang melanda negara pada Disember lalu diharapkan dapat menjadikan kita \u2013 tanpa ada yang terkecuali untuk lebih bersedia dalam menghadapi sebarang bencana alam yang mendatang. Sebagai langkah awal yang diambil oleh kerajaan, semalam, Perdana Menteri dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana telah mengumumkan bahawa banjir besar yang melanda negara baru-baru ini amat meninggalkan kesan yang mendalam kepada rakyat. Banjir bukanlah isu baharu di negara ini, malah telah berlarutan sejak sekian lama tanpa penyelesaian sehingga mengakibatkan kerugian bukan sahaja terhadap harta benda tetapi juga kehilangan nyawa.Natijah daripada bencana banjir ini juga mengakibatkan negara mengalami kerugian sebanyak RM6.1 bilion akibat kerosakan aset awam dan infrastruktur, tempat kediaman, kenderaan, sektor pembuatan, premis perniagaan dan sektor pertanian.\nApa-apa yang berlaku ini seharusnya menjadi titik permulaan untuk merangka paradigma baharu bagi menghadapi bencana banjir pada masa akan datang. Sehubungan itu, masalah ini harus diselesaikan secara tuntas. Kerajaan tidak mahu lagi melihat bencana banjir menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat pada masa akan datang.\n\u201cSaya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) secara telesidang semalam bagi membincangkan secara terperinci \u00a0tentang situasi dan penilaian awal\u00a0After Action Review\u00a0(AAR) Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022. Perbincangan menekankan langkah dan perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang yang perlu dilakukan oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri supaya bencana banjir tidak memberikan impak yang besar kepada negara dan rakyat,\u201d ujar Perdana Menteri.\nMesyuarat tersebut turut dihadiri oleh menteri besar dan ketua menteri, menteri dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Ketua Setiausaha Negara (KSN), Panglima Angkatan Tentera (PAT), Ketua Polis Negara (KPN), Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), ketua-ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah agensi-agensi yang berkaitan.\nDalam mesyuarat ini, persetujuan telah dicapai untuk menggariskan lapan langkah strategik sebagai menambahbaik pengurusan bencana negara yang telah dibentangkan oleh NADMA iaitu;\nTambah Perdana Menteri, perluasan dasar DRR pada peringkat negeri dan daerah akan dapat memastikan pengurusan bencana banjir dipertingkat berikutan satu platform yang diwujudkan bagi menyimpan semua repositori daftar risiko secara sistematik. Kementerian dan agensi juga turut disarankan untuk membuat penetapan sebanyak lima peratus daripada perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi tujuan pengurusan bencana pada masa akan datang. Hal ini penting bagi persiapan perbelanjaan persediaan bencana, pemulihan dan pascabencana serta pencegahan dan mitigasi risiko bencana.\nMesyuarat juga bersetuju dengan penekanan terhadap konsep \u201cwhole of society approach\u201d yang perlu diterjemahkan dalam dasar, pengoperasian dan latih amal bencana dengan pelibatan bersama-sama agensi kerajaan dan organisasi masyarakat sivil (CSO). Pada masa yang sama, pemerkasaan kapasiti komuniti setempat akan dipertingkat melalui ketua komuniti yang akan bertindak sebagai\u00a0initial responder. Mereka akan dibekalkan dengan kelengkapan asas dan bantuan untuk melaksanakan tindakan awal.\nDalam mesyuarat itu, kerajaan juga secara dasarnya turut bersetuju dengan cadangan jangka pendek dan jangka panjang yang dikemukakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk menyelesaikan masalah banjir antaranya:\nSehubungan itu, kerajaan dalam mesyuarat tersebut turut mengumumkan bahawa peruntukan untuk penyelesaian secara komprehensif ini sememangnya memerlukan peruntukan yang besar, iaitu melibatkan ratusan bilion ringgit yang mengambil jangka masa yang panjang, oleh itu mesyuarat bersetuju supaya kerajaan memfokuskan terhadap kawasan berisiko tinggi dan diberikan keutamaan untuk melaksanakan pelan penyelesaian masalah banjir." "Pilihan Raya Penentu Masa Depan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dikendalikan oleh Puan Haslina Ar Kamaludin selaku pengerusi sesi, slot SKOP MG Malaysia Gazette berjaya mencuri tumpuan umum dalam diskusi santai\u00a0 yang disampaikan oleh Dr. G.Manimaran, penganalisis pilihan raya dan penulis buku Pilihan Raya Demokrasi: Tanding, Pilih, Menang & Tadbir, selaku panel dalam sebuah perbincangan bertajuk \u201cPRN Johor: Undi 18 Jadi Penentu?\u201d\nSemasa awal perbincangan, Puan Haslina mendedahkan kepada umum berkaitan dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan merujuk Artikel 3 (a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan pada tiga tahun lalu dan diwartakan sebagai P.U.(B) 615/2021 dan berkuat kuasa pada 15 Disember 2021 berkaitan dengan penurunan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.\nMelalui Seksyen 3, had umur mengundi diturunkan dengan membenarkan pendaftaran pengundi secara automatik bagi menggantikan sistem semasa yang memerlukan rakyat memohon untuk mendaftar sebagai pengundi. Pindaan yang telah diluluskan ini dilihat berupaya menambah baik sistem pendaftaran pilihan raya yang dilakukan sebelum ini, yang dilihat mempunyai kelemahan tertentu dari segi kepincangan maklumat serta sumber yang tidak sahih. Kaedah baharu ini memperlihatkan anjakan yang akan mendinamikkan sistem pilihan raya di Malaysia, seterusnya proses demokrasi juga dapat dipertingkatkan dalam kalangan rakyat.\nPindaan ini meningkatkan jumlah pengundi di seluruh negara termasuklah peningkatan sebanyak 30 peratus jumlah pengundi di negeri Johor dan hal ini menjadi tumpuan kepada banyak pihak khususnya penganalisis politik bagi melihat negeri Johor sebagai penanda aras kejayaan sama ada berjaya atau sebaliknya. Berdasarkan data yang diperoleh, sejumlah 749 731 pengundi muda baharu temasuklah mereka yang berusia 18 tahun layak menjadi pengundi secara automatik. Hal ini bermakna, Johor kini mempunyai sejumlah 2.5 juta pengundi yang akan meraikan proses demokrasi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac kelak berbanding dengan hanya 1.8 juta pengundi sahaja pada tahun 2018, sekali gus \u00a0menjadi titik tolak kepada generasi Malaysia supaya dapat bersama-sama memahami tanggungjawab mereka kepada negara.\nDalam perkongsian tersebut Dr. G. Manimaran juga berkongsi tentang kelompok pengundi berdasarkan analisis beliau, iaitu kelompok pengundi berusia 21 tahun ke bawah, golongan pemilih berusia 21 tahun hingga 55 tahun yang masih bekerja sama ada di sektor swasta atau awam serta pemilih yang sudah bersara. Ketiga-tiga golongan pengundi ini mempunyai pola tertentu bagi memahami mekanisme pilihan raya sebagai proses demokrasi.\n\u201cApabila diukur dengan senario golongan muda, mungkin kebimbangan sesetengah pihak kepada pengundi muda boleh diambil kira, namun dengan usaha yang berterusan, pendidikan tentang pilihan raya dalam kalangan warga muda harus dilaksanakan secara terancang,\u201d ujar beliau.\nApabila diajukan persoalan oleh Puan Harlina berkaitan dengan pihak yang harus bertanggungjawab mendidik pengundi dalam pilihan raya, beliau menjelaskan bahawa semua pihak perlu memainkan peranan untuk memastikan generasi muda mendapat maklumat yang tepat agar mereka dapat memahami dengan lebih jelas tentang negara demokrasi melalui pilihan raya.\nBeliau juga menyarankan semua pihak agar dapat mengembangkan isu pendidikan demokrasi dan pilihan raya khususnya institusi pendidikan sedia ada. \u201cSebagai contoh, guru-guru boleh memberikan pendedahan awal tentang realiti pilihan raya dengan mengadakan pilihan raya untuk pelantikan badan pengawas di sekolah-sekolah. Pelaksanaan bercirikan pilihan raya boleh didedahkan pada peringkat awal dan apabila melaksanakan dengan betul, mereka mendapat gambaran yang sahih tentang pilihan raya,\u201c ujar beliau.\nSelain itu, beliau juga menegaskan peri pentingnya pendedahan asuhan dan didikan dalam kalangan keluarga dan masyarakat berkaitan dengan pilihan raya. Pilihan raya merupakan satu daripada proses mendewasakan anak muda. Beliau juga menyarankan\u00a0 Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggiatkan secara sistematik program pendidikan pengundi dan demokrasi pilihan raya agar pengundi muda dan seluruh rakyat Malaysia dapat memahami konsep demokrasi yang sebenar di negara ini.\nDalam wacana tersebut, beliau amat mengalu-alukan keprihatinan YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri yang menyarankan pihak SPR agar dapat merealisasikan usaha ini. Beliau juga mengingatkan masyarakat bahawa pengundi perlu memahami segala butiran yang dijanjikan oleh calon atau parti. Secara realitinya pertimbangan pemilih dalam menilai manifesto yang digagaskan oleh parti dan calon, merupakan satu proses penaakulan yang mengambil masa untuk diterjemahkan melalui kertas undi. Kesemua ini akan memberikan kesan selepas selesai pilihan raya.\nPada akhir perkongsian dalam sesi tersebut, beliau menggesa pengundi muda supaya lebih bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab pada PRN Johor pada Mac kelak." "Raja Muda Perlis Menyantuni Asnaf dan Rakyat Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mencemar duli berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21 000 kepada 30 orang asnaf terpilih dengan masing-masing menerima RM700 setiap seorang.\nSumbangan diserahkan di Masjid Al-Ariffin, Padang Katong, Kangar, Perlis dan diterima oleh Imam 1 Masjid Al-Ariffin, iaitu Ustaz Muhammad Khidir Abd Ghani yang mewakili 30 orang asnaf tersebut. Turut mengiringi DYTM Raja Muda Perlis ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.\nDi samping itu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut bertitah agar aspek prestasi sumber manusia, teknologi, prosedur kerja dalam perkhidmatan serta penyampaian awam secara langsung mahupun tidak langsung perlu ditambah baik dan diberikan keutamaan demi meningkatkan lagi kecekapan sesebuah organisasi sama ada dalam sektor awam mahupun sektor swasta.\n\u201cPerkhidmatan yang efisien dapat memperkasakan imej sesebuah organisasi selain mewujudkan hubungan yang baik antara organisasi berkenaan dengan para pelanggan, pemegang taruh dan juga orang awam secara keseluruhannya,\u201d titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut mengingatkan semua rakyat negeri Perlis supaya sentiasa mempraktikkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan demi mencegah penularan virus COVID-19 yang dilaporkan semakin meningkat.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut menyeru seluruh rakyat jelata agar sentiasa menjaga dan memelihara kesihatan diri. Golongan ibu bapa dan penjaga diseru supaya bertanggungjawab dalam memastikan anak-anak jagaan mereka yang merupakan aset negeri Perlis, negara Malaysia dan juga bakal pemimpin masa depan sentiasa selamat dan kekal sihat.\n\u201cKita perlu menjaga diri dan keluarga yang tersayang serta saling mengingatkan sesama kita demi mengekang penularan virus ini dan demi kesejahteraan semua\u201d, pesan DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail." "Bengkel Majalah Dalam Kelas Memperkasakan Karyawan DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan bengkel Modul Majalah Dalam Kelas (MDK) pada pagi ini bertempat di Wisma DBP.\nTujuan bengkel ini diadakan adalah untuk membimbing dan melatih para karyawan DBP menggunakan majalah terbitan DBP sebagai medium pengajaran, pembelajaran dan pendidikan dalam kalangan pelajar dan guru.\nBengkel ini menampilkan seorang panel undangan, iaitu Cikgu Azizul Rahman Abdul Rahman, Pengasas program MDK dan Tokoh Guru Kebangsaan 2016. Program MDK telah berjaya dilaksanakan oleh Cikgu Azizul sejak tahun 1979 di seluruh negara dan Singapura.\nBengkel dimulakan oleh Cikgu Azizul\u00a0 yang berkongsi tentang sejarah awal kewujudan dan pelaksanaan program MDK. Seterusnya, beliau menghuraikan kaedah melaksanakan program MDK bagi menarik minat pelajar dan guru agar mencintai dan mengutamakan penggunaan bahasa Melayu sama ada melalui penulisan atau pertuturan dalam kehidupan seharian.\nBengkel selama sehari ini mendedahkan peserta bengkel yang terdiri daripada editor dan penolong editor Bahagian Majalah dan wakil editor dari Bahagian Buku Sekolah dengan beberapa aktiviti yang dibahagikan kepada tiga aktiviti utama, antaranya termasuklah mencipta Ungkapan indah untuk penulisan; Menukarkan cerpen kepada komik;\u00a0 Melagukan sajak; dan Menterjemahkan puisi kepada bentuk visual.\n\u00a0\nMenurut Cikgu Azizul, matlamat utama pelaksanaan MDK adalah untuk memperkasakan\u00a0 penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya pelajar. Selain itu, MDK juga amat bermanfaat untuk dijadikan sebagai panduan bagi melahirkan idea dan pendapat dalam pelbagai bentuk penulisan dengan menggunakan aspek kebahasaan, keindahan dan kehalusan bahasa secara kritis, kreatif dan dinamik.\n\u201cMelalui program MDK, peserta berupaya mempamerkan tahap pengetahuan bahasa dan kecekapan berbahasa yang cemerlang dan konsisten; berupaya mengungkapkan idea dengan jelas, terperinci dan tersusun; menguasai kemahiran berfikir yang kritis, kreatif dan inovatif; berkomunikasi secara efektif dan penuh keyakinan di samping mengamalkan pembelajaran secara kendiri serta menjadi model teladan kepada pelajar yang lain dalam kemahiran bahasa,\u201d ujar Cikgu Azizul.\nBengkel ini turut disertai oleh Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah dan beberapa orang editor serta penolong editor Bahagian Majalah secara dalam talian." "SPM: Lebih 3000 Pusat Peperiksaan Disediakan bagi Ujian Bertutur, Mendengar dan Amali Sains\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebanyak 3382 buah pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 disediakan bagi Ujian Bertutur, Ujian Mendengar (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris), dan Ujian Amali Sains di seluruh negara.\nMenurut Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sebanyak 50 514 orang petugas peperiksaan dilantik untuk memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan pada tahun ini.\nMenerusi kenyataan semalam, LP mengumumkan tarikh pelaksanaan ujian dan bilangan calon pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM adalah seperti yang berikut:\n\u201cSemua calon perlu merujuk jadual waktu peperiksaan untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan terperinci, selain mematuhi arahan dan amaran semasa peperiksaan berlangsung.\u201c\n\u201cCalon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan. Calon juga hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan oleh KPM serta prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.\u201d Demikian kenyataan yang diberikan oleh LP dalam mengingati pelajar agar mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.\nMenurut LP lagi, ketetapan Garis Panduan KPM ini adalah untuk memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan pencegahan penularan wabak COVID-19." "Imbasan 66 tahun DBP Memekarkan Bahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nEnam puluh enam tahun yang lalu atau lebih tepatnya pada 22 Jun 1956, tertubuhnya sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pelajaran, yang dikenali sebagai Balai Pustaka di Johor Bahru. Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang telah berlangsung di Singapura dan Johor Bharu pada bulan September 1956 menjadi titik tolak bermulanya penggunaan nama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nProfesor Diraja Ungku Abdul Aziz telah menjadi pengarah pertama badan bahasa ini. Beliau mengusahakan perpindahan DBP ke Kuala Lumpur pada tahun 1957. Hasilnya, badan bahasa ini berjaya ditempatkan di sebuah bangunan bekas wad hospital di Jalan Young.\nDi rumah baharu ini, DBP terus mengorak langkahnya selaras dengan pengisytiharan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Tahun 1959 menjadi sejarah apabila DBP berubah statusnya kepada badan berkanun setelah Akta Dewan Bahasa dan Pustaka diluluskan oleh Parlimen. Badan bahasa ini telah diberikan kuasa autonomi untuk melaksanakan beberapa matlamat yang termaktub dalam akta tersebut.\nAntaranya termasuklah memajukan dan memperkaya bahasa kebangsaan, mencetak dan menerbitkan buku dan risalah, serta menyusun dan menerbitkan kamus dalam bahasa kebangsaan. Selain matlamat ini, terdapat beberapa lagi matlamat yang berkaitan dengan pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera.\nSelepas 21 tahun ditubuhkan, DBP mengembangkan lagi sayapnya ke Malaysia Timur pada tahun 1977 dengan membuka dua cawangan, iaitu di Kota Kinabalu, Sabah dan di Kuching, Sarawak. Di Malaysia Barat juga tidak ketinggalan apabila DBP Wilayah Utara di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan DBP Wilayah Timur di Kota Bharu, Kelantan, dibuka pada tahun 1999.\nHal ini diikuti oleh pembukaan DBP Wilayah Selatan di Johor Bahru, Johor, pada tahun 2000 dan DBP Wilayah Tengah di Kuala Lumpur pada tahun 2011. Kini, DBP megah beroperasi di bangunan baharunya, iaitu Menara DBP, di Jalan Dewan Bahasa dan Pustaka.\nPada tahun 2011 juga, DBP mengembangkan sayapnya dengan memberikan khidmat dari segi penggunaan bahasa dan visual pada iklan. Hal ini suatu syarat yang perlu dipenuhi oleh pihak yang ingin membuat permohonan lesen daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) apabila ingin menyiarkan iklan.\nSyarat ini ditetapkan kerana penggunaan bahasa Inggeris dalam medium pengiklanan dilihat lebih diutamakan berbanding dengan penggunaan bahasa Melayu di Malaysia. Kini, DBP juga mempunyai Anjung DBP yang terdiri daripada tiga komponen, iaitu kedai buku, kafe buku dan kaunter pengesahan bahasa, yang dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom pada bulan Oktober 2018.\nDBP tidak jemu-jemu berusaha untuk menjadikan bahasa Melayu gah pada pandangan mata semua pihak dengan melancarkan kempen Minggu Bahasa dan Bulan Bahasa menerusi gerakan massa yang diketuai oleh Pengarah DBP pada masa itu, Tun Syed Nasir Syed Ismail, yang juga dikenali sebagai Panglima Bahasa.\nKempen ini mengalami beberapa penjenamaan dari segi namanya, seperti Gerakan Cintailah Bahasa Kita (GCBK), Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS), Minggu Sastera dan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN).\nPada tahun 1999, YAB Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu telah melancarkan kempen BBSN yang pertama. Akhirnya, pada tahun 2009, BBSN telah diberi nama baharu, iaitu Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK).\nDari aspek penerbitan, DBP menerbitkan 11 majalah terkenal, iaitu Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa, Dewan Budaya, Dewan Siswa, Dewan Pelajar, Pelita Bahasa, Dewan Ekonomi, Dewan Kosmik, Tunas Cipta dan Dewan Tamadun Islam. Tatkala banyak penerbitan majalah oleh penerbit lain telah ditutup, penerbitan majalah DBP masih kekal hingga hari ini.\nSelain majalah, terdapat penerbitan lain yang dikelolakan oleh DBP. Penerbitan ini ialah buku teks, buku bahasa, buku sastera, buku umum, buku ilmiah dan buku kanak-kanak.\nDi samping itu, menerusi program Munsyi Dewan, penceramah bahasa Melayu atau lebih dikenali sebagai Munsyi Dewan dilantik oleh DBP untuk mengendalikan kursus, ceramah dan taklimat bahasa Melayu di sektor awam dan swasta. Program ini telah bermula sejak tahun 1995 lagi. Munsyi Dewan ini perlu aktif menggalas tanggungjawabnya sebagai pakar rujuk dalam bahasa Melayu. Khidmat dan kepakaran Munsyi Dewan ini digunakan dalam usaha membantu memartabatkan bahasa Melayu.\nDBP juga menyediakan kenderaan pacuan empat roda yang diubah suai menjadi kedai buku bergerak atau dikenali sebagai Ujana Buku. Ujana Buku ini telah dirasmikan oleh Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Dato\u2019 Muhyiddin Yassin di UiTM Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 29 April 2015.\nKonsep Ujana Buku ini adalah untuk mengajak masyarakat menambahkan ilmu agar dapat membentuk masyarakat berkelas minda pertama. Kedai buku bergerak ini akan berkunjung ke lokasi terpilih untuk membuat jualan bahan terbitan DBP secara terus kepada pelanggan di tempat tersebut.\nUjana Buku ini juga mampu membawa sebanyak 500 buah buku terbitan terkini pada satu-satu masa untuk memenuhi keperluan pelanggan. Banyak lokasi yang telah dikunjungi oleh Ujana Buku ini, seperti sekolah, institusi pengajian tinggi, jabatan kerajaan dan karnival jualan. Kini, terdapat tiga buah Ujana Buku di DBP Hulu Kelang dan sebuah Ujana Buku di DBP Wilayah Timur, DBP Cawangan Sabah dan DBP Cawangan Sarawak.\nPada awal tahun ini, iaitu pada bulan Mac 2022, Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa kerajaan akan meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 untuk membolehkan DBP mengambil tindakan terhadap individu atau pihak yang melanggar akta tersebut.\nHal ini dikatakan demikian kerana akta yang tersedia ini tidak memberikan kuasa kepada DBP untuk melaksanakan penguatkuasaan terhadap kesalahan bahasa yang dilakukan. Hal ini dikuatkan lagi dengan persetujuan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad bahawa semua pelajar asing yang belajar di negara ini wajib mempelajari bahasa Melayu.\nKini, sudah tiba masanya bagi semua rakyat Malaysia bersama-sama DBP untuk menjulang slogan \u201cBahasa Jiwa Bangsa\u201d di pentas antarabangsa dan tidak ada sebab untuk berasa malu atau janggal apabila berbahasa Melayu." "Era Pandemik Tidak Menghalang Negara Melahirkan Generasi Pemimpin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kehadiran Ts. Wan Azizul Faiz Zulkifli, Alumni Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang merangkap sebagai mantan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPNM dan Encik Vivek Appalanaidu yang merupakan Pengarah Minggu Perkasa Jati Diri (MPDJ) 2021/2022 adalah juga pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan UPNM, telah menghidupkan suasana studio Bernama TV menerusi slot Darah Muda\u00a0yang dikendalikan oleh hos, Irfan Faruqi dengan perbincangan yang bertajuk Pemimpin Intelektual Berkarakter.\nPerbincangan ini\u00a0memerihalkan tentang budaya komited dan disiplin yang tinggi berupaya\u00a0melahirkan mahasiswa yang lengkap dengan pakej sebagai seorang pemimpin yang mempunyai daya intelek yang tinggi dan berkarisma.\nDimulai dengan perkongsian Ts. Wan Azizul, beliau mengatakan bahawa tarikan utama untuk beliau melanjutkan pengajian di UPNM berikutan citra pertahanan dan kedaulatan negara khususnya menerusi bidang ketenteraan yang ditonjolkan oleh institusi ini menggamit semangatnya untuk turut sama meraih kejayaannya di sini.\nKeistimewaan UPNM berbanding dengan institusi lain ialah budaya antara pelajar, tenaga pengajar dan juga persekitaran kampus yang menerapkan budaya pertahanan tinggi untuk membina serta menyediakan pelajar sebagai modal insan yang bersedia dengan pasaran kerja sama ada dalam bidang ketenteraan ataupun bidang awam yang lainnya.\nTambahnya lagi, perkara yang paling istimewa berkaitan dengan UPNM ialah melahirkan banyak pemimpin intelektual berkarakter, malah mempunyai daya pemikiran tinggi, berintegriti serta penampilan dan peribadi yang berakhlak. UPNM mengasah pelajarnya yang berpotensi intelektual karakter dengan pelbagai panduan, yakni nilai yang dibangunkan\u00a0dan dibina melalui program yang dilaksanakan oleh institusi ini seperti\u00a0Program Minggu Perkasa Jati Diri.\nProgram ini dilaksanakan kepada semua mahasiswa\u00a0baharu, agar pendedahan awal diberikan serta menerapkan\u00a0penghayatan kepada citra UPNM. Dengan wujudnya citra intelektual karakter dalam kalangan mahasiswa\u00a0dan graduan ini,\u00a0institusi UPNM\u00a0pastinya\u00a0akan menjadi kebanggaan kepada masyarakat yang bukan sahaja warga institusi ini.\nEncik Vivek berkongsikan pengalamannya sebagai pengarah MPJD mengatakan bahawa melalui pelaksanaan MPJD, UPNM berjaya menerapkan nilai yang diperlukan untuk melengkapkan pakej sebagai pelajar dan graduan UPNM. Menurut beliau, nilai seorang pemimpin itu sebenarnya hadir dalam diri individu dan sifat ini hendaklah dibina sejak kecil lagi. Ciri atau sifat kepimpinan yang ada pada setiap individu dapat disuburkan lalu dipraktikkan dalam kehidupan mereka kelak.\nDalam cabaran mendepani pandemik COVID-19 ini, nilai MPJD yang dibangunkan oleh UPNM sememangnya menghadapi halangan dan kekangan untuk dihayati oleh pelajar apatah lagi program dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya. Namun begitu, saya percaya bahawa pelajar pada hari ini sudah pun dapat menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu pembelajaran dan budaya pengajian sebegini. Maka itu, pelajar terus tekal komited untuk memastikan nilai tersebut sebati dalam diri mereka.\nBukan itu sahaja, perkongsian daripada alumni yang berwibawa seperti Ts. Wan Azizul juga menjadi satu daripada slot terpenting MPJD untuk memahami hala tuju mahasiswa UPNM. Slot perkongsian serta pengalaman daripada alumni adalah pakej pengetahuan yang amat penting dibekalkan kepada para pelajar baharu UPNM. Provokasi Irfan Faruqi berkaitan dengan era kini mungkin akan menyebabkan institusi melahirkan mahasiswa yang tidak lengkap pakejnya dari segi intelektual dan karakter,\nTs. Wan Azizul berpendapat bahawa cabaran ini bukan dihadapi oleh UPNM sahaja, namun pada institusi pendidikan seluruh negara. Kelumpuhan sistem pendidikan ini perlu segera ditangani\u00a0dan beliau yakin usaha UPNM dan institusi lain dalam membina karakter masyarakat dan pelajar khususnya akan dapat direalisasikan.\nPendekatan berterusan dan sentiasa inovasi dengan kaedah dapat membantu banyak pihak,\u00a0khususnya dalam membangunkan semangat cintakan pendidikan dalam kalangan pelajar. Pesanan beliau lagi cabaran bukanlah alasan untuk berputus asa dan proses membina pemimpin intelektual berkarakter ini bukanlah berlaku hanya dalam MPJD,\u00a0tetapi akan dilaksanakan secara berterusan dan menjadi budaya dalam UPNM.\nMenariknya lagi, di sini, pelajar berpeluang mengikuti pengajian dan meraih pengalaman daripada komposisi pensyarah dalam kalangan intelektual berlatarbelakangkan kepimpinan ketenteraan berserta pakar awam.\nPada akhir perkongsian, Encik Vivek berharap agar mahasiswa bijak menguruskan masa dan komited untuk memajukan diri. Walaupun terlibat dengan pelbagai program yang dianjurkan universiti, misalnya menyantuni mangsa banjir baru-baru ini, tetap tidak menghalang mahasiswa untuk bertanggungjawab dengan pengajian mereka.\nPelajar mestilah memandang jauh ke hadapan sekiranya mahu berjaya, dan sudah pasti tindakan untuk berjaya itu seiring dengan harapan dan cita-cita yang telah pun disematkan dalam hati pelajar. Pengaruh rakan sebaya yang positif dan optimis amat dituntut bagi mengekalkan budaya cemerlang dalam kalangan pelajar tambahnya lagi.\nBegitu juga dengan Ts. Wan Azizul, beliau berharap pelajar UPNM serta mahasiswa dapat meningkatkan azam untuk memajukan diri agar warisan sebagai bangsa atau benih daripada tamadun yang hebat,\u00a0iaitu warisan Kesultanan Melayu Melaka yang terkenal di serata dunia dapat direalisasikan.\nGenerasi yang hebat ini kelak akan melihat cabaran sebagai satu keadaan melonjakkan lagi mereka ke atas dan bersedia memikirkan solusi pada setiap halangan dan cabaran yang datang demi membangunkan negara Malaysia tercinta ni.\u00a0Pada masa yang sama, generasi ini akan muncul sebagai pemimpin intelektual berkarakter yang menyumbangkan khidmat bakti kepada masyarakat dan negara." "Kerajaan Arab Saudi Mewajibkan Dos Penggalak kepada Jemaah Umrah Bermula 14 Februari ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Bermula pada Isnin minggu hadapan (14 Februari 2022), kerajaan Arab Saudi telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu bagi mereka yang ingin menunaikan ibadah umrah.\nPelaksanaan SOP baharu ini adalah mewajibkan semua jemaah, termasuklah dari Malaysia untuk mendapatkan suntikan dos penggalak COVID-19 sebelum menunaikan ibadah umrah.\n\nMenurut Menteri Kanan Pertahanan, YB Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bagi jemaah umrah yang berangkat pada tarikh sebelum 14 Februari boleh mengikuti SOP yang telah ditetapkan sebelum ini.\nUntuk jemaah umrah yang akan ke Arab Saudi hari ini sehingga 13 Februari, mereka terikat dengan SOP sedia ada. Bagaimanapun, apabila mereka pulang semula ke tanah air kelak mereka diwajibkan mematuhi SOP baharu yang telah dikuatkuasakan.\nKebenaran menunaikan ibadah umrah juga akan berkuat kuasa pada hari ini selepas kerajaan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan itu pada 8 Januari lalu.\nSementara itu, jemaah umrah juga dibenarkan kuarantin secara kendiri di rumah kediaman sebaik-baik sahaja tiba di tanah air, manakala kuarantin di pusat kuarantin swasta juga dibenarkan, namun atas tanggungan sendiri.\n(Sumber foto: Marsilawati Mohamad Rani)" "Kebenaran Operasi Bazar Ramadan di Seluruh Wilayah Persekutuan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Bazar Ramadan di seluruh Wilayah Persekutuan dijangka dibenarkan beroperasi sepanjang bulan puasa yang menjelang awal bulan April 2022.\nMenteri Wilayah Persekutuan, YB Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim menyatakan hal tersebut ketika melancarkan kempen penanaman pokok Sakura Malaysia di Presint 2, Putrajaya.\nWalau bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pengoperasian tersebut mestilah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan virus COVID-19.\nIndividu boleh mendaftar untuk mendapatkan lesen bagi beroperasi dalam bazar Ramadan. Para peniaga boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan hal ini melalui pengumuman yang akan dibuat dalam masa terdekat.\nTambah beliau, individu yang telah mendapat lesen hendaklah beroperasi di bazar Ramadan sendiri dan bukan mendapatkan lesen bagi pihak orang lain atau beroperasi atas lesen peniaga lain. Hal ini dikatakan demikian kerana, lesen ini dikeluarkan bagi membantu peniaga untuk berniaga, di samping meningkatkan aktiviti ekonomi di seluruh Wilayah Persekutuan.\nTahun ini, walaupun angka jangkitan masih meningkat disebabkan oleh pembukaan sempadan dan kemunculan varian baharu, namun majoriti rakyat Malaysia telah menerima vaksin bagi dos pertama dan kedua, sementara dos penggalak pula sedang giat diberikan secara menyeluruh.\nOleh itu, pengoperasian bazar Ramadan tetap dibenarkan, namun peniaga haruslah mematuhi SOP dengan ketat seperti penentuan jalan masuk dan keluar serta penjarakan fizikal bagi mengelakkan penularan yang lebih teruk.\nPada masa yang sama, Kementerian Wilayah Persekutuan akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan bilangan kes jangkitan tidak meningkat secara drastik dan terus berkurang walaupun sektor ekonomi telah dibuka sepenuhnya.\nYB Shahidan turut berkata, aktiviti perniagaan mesti diteruskan, namun mesyuarat dan perhimpunan berskala besar hendaklah dielakkan kerana hal ini mampu mempercepatkan penularan jangkitan virus.\nRakyat dinasihati untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan seperti memakai pelitup muka, mensanitasi atau membasuh tangan dengan air dan sabun secara kerap, dan mengamalkan penjarakan fizikal pada setiap masa.\nSelain itu, disebabkan oleh kes meningkat kepada lima angka semula baru-baru ini, KKM menyarankan agar majikan untuk meneruskan semula Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR).\nOleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk terus berada di rumah jika tiada keperluan yang mendesak untuk keluar bagi mengelakkan tempat yang sesak." "Hampir 13 Juta Rakyat Malaysia Terima Dos Penggalak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dianggarkan lebih daripada 53.9 peratus, iaitu sebanyak 12 616 238 rakyat Malaysia (dewasa) sudah menerima dos penggalak COVID-19, setakat semalam.\nMerujuk laman portal COVIDNOW, 98 peratus individu dewasa, iaitu sebanyak 22 931 979 orang telah lengkap divaksinasi, manakala 99.2 peratus atau 23 207 389 orang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.\nBagi populasi remaja berumur antara 12 hingga 17 tahun, jumlah yang telah lengkap divaksin adalah sebanyak 2 792 830 orang (88.7 peratus), manakala 2 870 546 orang (91.2 peratus) lagi telah menerima satu dos vaksin.\nBagi vaksinasi harian, sejumlah 152 358 dos vaksin telah digunakan dengan meliputi 10 471 bagi dos pertama, 1506 bagi dos kedua, manakala 140 381 dos ketiga menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sebanyak 64 264 073 dos.\nSementara itu, Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, melalui hantaran di laman Facebooknya, mencatatkan kadar keberjangkitan (Ro/Rt) COVID-19 negara berdasarkan kes harian ialah 1.39.\nSarawak mencatatkan nilai RT tertinggi iaitu 1.68, diikuti Perlis (1.65), Sabah (1.59), Labuan (1.51) dan Terengganu (1.40).\nMenurut portal Github Kementerian Kesihatan, sebanyak 13 kematian direkodkan akibat COVID-19 pada hari semalam, iaitu tiga kematian di Selangor, masing-masing dua kes di Kelantan, Perak dan Sabah, manakala Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Kuala Lumpur, masing-masing merekodkan satu kematian." "Elakkan Diri ke Tempat Tumpuan Ramai \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013\u00a0Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar rakyat lebih peka dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP), berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang kian membimbangkan.\nSekiranya tiada keperluan penting, semua rakyat terutamanya golongan berisiko hendaklah mengelakkan diri daripada ke tempat tumpuan ramai.\nRakyat perlu peka akan tanggungjawab sosial dengan memastikan aplikasi MySejahtera digunakan pada setiap kali memasuki premis perniagaan atau tempat tarikan pelancong.\n\u201cPada masa yang sama, pemilik premis juga perlu memainkan peranan dalam memastikan hanya pelanggan yang berisiko rendah dan telah lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke dalam premis,\u201d titah Raja Muda Perlis hari ini selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs\u00a0kepada golongan asnaf.\nPenyerahan sumbangan berjumlah RM21 ribu itu diberikan kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Sirajuddin, Padang Pauh, Perlis. Daripada jumlah sumbangan tersebut, agihan sebanyak RM700 setiap seorang disampaikan oleh amil\u00a0mereka, Encik Zakaria Khamis.\nTurut mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif \u00a0MAIPs, Haji Mohd. Nazim Mohd. Noor.\nSementara itu, mengulas mengenai topik yang sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Sirajuddin Hashim mengatakan bahawa negara sekali lagi mencatatkan kadar peningkatan kes yang mendadak,\u00a0bahkan sama situasi yang berlaku di luar negara.\nMenurut Dr. Sirajuddin,\nPerlis juga terkesan dengan peningkatan penularan COVID-19, yakni 275 kes dilaporkan pada minggu lepas dengan peningkatan sebanyak 164 peratus berbanding dengan minggu sebelumnya.\nNamun begitu, 97.5 peratus\u00a0daripadanya\u00a0adalah kategori 1 dan kategori 2 ringan dan hanya 12 peratus dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRC) dan hospital.\nMeskipun begitu, tiada kematian dicatatkan. Beliau yakin dan percaya bahawa sebahagian besarnya disumbang oleh liputan vaksinasi lengkap bagi rakyat Perlis yang tinggi.\nTambah Dr. Sirajuddin, \u201cKetidakpatuhan SOP dan kurangnya pengamalan dalam kebiasaan baharu menjadi satu daripada faktor utama penyumbang kepada kejadian kluster, yang telah dikenal pasti.\u201d" "\u201cGandingan rakyat, media dan pemerintah menjaminkan keselamatan dan keamanan negara\u201d \u2013 Presiden Jokowi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSulawesi Tenggara \u2013 Indonesia memang cukup terkenal sebagai bangsa yang cinta akan sejarah dan seni budaya. Indonesia juga antara negara yang menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia. Walau bagaimanapun, pandemik COVID-19 ternyata telah menjejaskan kebanyakan sektor pelancongan di serata dunia, termasuklah negara yang memiliki sejuta keistimewaan ini.\nSeluruh muka bumi Indonesia tersedia dengan lokasi yang menakjubkan untuk dihidangkan dengan pelbagai kisah dan ceritera yang terakam dalam pelbagai bentuk media. Sama ada dalam bentuk bahan bercetak seperti buku, majalah, akhbar, tabloid. risalah, zine dan yang terkini menerusi pelantar digital dan media sosial, terus sahaja bahan-bahan ini dapat dikongsikan kepada pembacanya. Rakaman yang terpenting tentang khazanah Indonesia ini sudah pastilah melalui akhbar-akhbar dan pelbagai media lainnya sejak dahulu sehingga kini.\nSemalam, bersamaan dengan 9 Februari telah dipilih sebagai Hari Pers Nasional Indonesia bersempena dengan hari penubuhan Persatuan Wartawan Indonesia (PWI). Selaras dengan peristiwa ini, Presiden Suharto telah menetapkan Hari Pers Nasional 2022 yang berlaku pada tahun 1985.\nDalam ucapan perasmiannya, Encik Joko Widodo, Presiden Indonesia merakamkan ucapan penghargaan pemerintah Indonesia kepada seluruh warga media Indonesia. Warga media Indonesia adalah kelompok yang penting sejak mula lagi akhbar dan bidang media berkembang pesat di Indonesia. Prihatin dengan cabaran mendepani pandemik COVID-19 ketika ini, beliau berharap warga media akan terus berjuang dalam menghasilkan bahan berita bermutu kepada seluruh rakyat Indonesia dan warga media Indonesia dilindungi oleh undang-undang sebagai jaminan keselamatan dan keamanan dalam mereka menunaikan tanggungjawab yang semakin mencabar ketika ini.\nSektor media mesti terus hidup untuk terus mendukung aspirasi pemerintah Indonesia untuk membangunkan dan memajukan Indonesia.\nSelaku Presiden, beliau berharap agar seluruh rakyat Indonesia bangkit untuk memajukan diri serta seluruh komuniti agar seiring dengan pemerintah menemukan penyelesaian, untuk Indonesia segera keluar daripada konflik yang telah melumpuhkan banyak sektor ekonomi ini.\nGandingan rakyat, media dan pemerintah sudah pasti akan dapat memperkuatkan Indonesia kembali dan seterusnya rakyat akan mendapat manfaatnya.\nSejarah akhbar di Indonesia yang bermula pada tahun 1774 semasa penjajahan Belanda dan berkembang pesat ketika pengaruh Inggeris bermula tahun 1811, sebenarnya mempunyai hubungan yang unik dengan sejarah akhbar di Singapura dan Tanah Melayu. Negara serumpun ini lalu dihubungkan dengan semangat negara bangsa yang ingin bebas dan merdeka sebagai sebuah negara yang berdaulat.\nTurut hadir dalam majlis ini ialah YB Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar Haji Musa, Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan barisan kepimpinan utama pemerintah Indonesia dan pentadbir pertubuhan media Indonesia, serta duta-duta negara." "Pemeriksaan Suhu Badan di Premis Bawah KPM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), telah merujuk pengumuman oleh YB Dato\u2019 Sri Hishammuddin Tun Hussien, Menteri Kanan Pertahanan pada 8 Februari 2022 lalu berkaitan dengan pemansuhan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan suhu badan dan buku rekod mendaftar masuk ke mana-mana premis yang berkuat kuasa mulai 11 Februari 2022.\nSehubungan dengan itu, KPM memaklumkan bahawa mulai esok, pemeriksaan suhu badan sebelum masuk ke premis institusi pendidikan bawah KPM adalah tidak diwajibkan.\nNamun begitu, semua guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP), pekerja perkhidmatan sokongan dan pelawat masih diwajibkan untuk mengimbas kod QR melalui aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis di institusi pendidikan bawah KPM.\nSebagai langkah keselamatan, ibu bapa atau penjaga dimohon untuk memastikan anak-anak atau anak di bawah jagaan mereka berada dalam keadaan sihat dan tidak mempunyai sebarang gejala sebelum hadir ke sekolah.\nMurid yang mempunyai gejala atau ahli keluarga mereka yang disahkan positif COVID-19 serta tinggal serumah tidak dibenarkan untuk hadir ke sekolah.\nTahap kesihatan murid semasa berada di sekolah akan dipantau secara berterusan bagi memastikan murid yang menunjukkan simptom atau tanda-tanda tertentu diasingkan di bilik isolasi untuk tindakan selanjutnya.\nKPM juga menyarankan ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM." "Perlis Hantar 83 Peserta untuk Kejohanan Sirkit Woodball Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 \u201cPerlis akan menghantar kontinjen seramai 83 peserta bagi mengambil bahagian dalam Kejohanan Sirkit Woodball Kebangsaan 2022 anjuran Persatuan Woodball Malaysia di Taman Metropolitan Batu, Kuala Lumpur dari 16 hingga 20 Februari 2022,\u201d maklum Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perlis, Ruhisha Haris kepada Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Perlis yang diadakan di Gelanggang Woodball Jabatan Pendidikan Negeri Perlis di Padang Behor, Kangar, Perlis.\nMenurut Ruhisha Haris, pasukan kontinjen Perlis terdiri daripada 57 atlet lelaki dan 26 atlet wanita. Selain itu, terdapat beberapa orang atlet yang pernah mewakili pasukan kebangsaan dalam pertandingan-pertandingan yang bertaraf antarabangsa di dalam dan di luar negara sebelum ini. Manakala sebanyak 4 lelaki dan 2 wanita telah terpilih untuk bertugas sebagai pengadil.\nRuhisha Haris yang bertindak selaku Ketua Kontinjen Pasukan Perlis Woodpeckers turut memaklumkan bahawa latihan intensif telah dimulakan sejak 10 Januari lalu dan bakal berakhir pada 13 Februari ini. Dalam tempoh latihan tersebut, beberapa pertandingan mini mengikut acara-acara yang bakal disertai telah diadakan bagi mempersiapkan para pemain dari segi fizikal dan mental.\n\u201cPeserta yang akan berangkat ke ibu negara pada 15 Februari ini adalah daripada Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs), iaitu seramai 34 orang, UiTM Perlis (13 peserta), Kelab Sukan, Rekreasi dan Kebajikan (KESIREK) Hospital Tuanku Fauziah (9 peserta), Kelab Kebajikan dan Rekreasi Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis (PERALIS) (8 peserta), Kelab Titan Perlis (8 peserta), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) (8 peserta) serta Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Perlis (3 peserta),\u201d ujar Ruhisha Haris.\nRaja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Penaung DiRaja PWNPs mengingatkan semua atlet Perlis supaya memberikan komitmen yang terbaik untuk mengharumkan nama negeri, menjaga disiplin serta mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh penganjur dan pengurusan kontinjen PWNPs.\nUntuk rekod, Perlis dipilih oleh Persekutuan Woodball Antarabangsa (IWF) untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Woodball Piala Dunia (WCWC) 2020 yang terpaksa ditangguhkan sehingga ke hari ini akibat penularan pandemik COVID-19. Jika sempadan negara dibuka kembali, maka WCWC 2020 akan kembali diadakan di negeri Perlis pada bulan Julai 2022.\nTurut berangkat sama bagi memeriahkan majlis ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil." "Melahirkan Modal Insan Cemerlang dan Kompeten \u2013\u00a0Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar\u00a0\u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, hari ini berkenan berangkat menyempurnakan perasmian projek peningkatan sosioekonomi usahawan asnaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berupa perniagaan membalut kerusi semua jenis kenderaan bertempat di Naim Cushion Design.\nUsaha melahirkan modal insan cemerlang dan kompeten merupakan aspek yang amat penting, terutamanya golongan remaja kerana mereka merupakan tonggak kepimpinan pembangunan negara pada masa akan datang.\nMaka itu, untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, ciri keperibadian seperti berpengetahuan tinggi, berakhlak mulia, berfikiran kreatif dan kritis, mempunyai kesihatan yang baik, serta memiliki ciri kepimpinan yang tinggi adalah sangat penting.\nKetika bertitah, Raja Muda Perlis juga menasihati rakyat agar sentiasa memberikan sokongan dan memainkan peranan dalam merealisasikan hasrat negara. Antaranya termasuklah melaksanakan tindakan dan program yang efektif bagi mempergiat aktiviti, khususnya dalam sektor ekonomi.\nTambah baginda, rakyat haruslah sentiasa berusaha, cekal dan tabah dalam mengharungi ketidaktentuan dunia hari ini akibat COVID-19, yang turut memberikan kesan pada dunia pendidikan, di samping tidak mengetepikan anak-anak bangsa supaya membudayakan ilmu pengetahuan sebagai pegangan hidup kelak.\nKeberangkatan baginda ke Naim Cushion Design adalah bersempena dengan program MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Kali ke-11 bagi tahun 2022 ini. Pelepasan disempurnakan oleh Raja Puan Muda, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.\u00a0 DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan singgah di tiga buah rumah milik asnaf terpilih bagi menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs.\nTurut hadir bersama-sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor." "14 Februari, Hari Pemberian Buku Antarabangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada tarikh 14 Februari, bermula pada tahun 2012, Hari Pemberian Buku Antarabangsa (International Book Giving Day) diraikan oleh masyarakat di seluruh dunia. Hari Pemberian Buku Antarabangsa yang diinisiatifkan oleh sukarelawan ini bermatlamat untuk memastikan sebanyak mungkin buku sampai ke tangan kanak-kanak.\nDemikian itu, pertubuhan sukarelawan melihat kebanyakan kanak-kanak di negara sedang membangun tidak memiliki buku, malah tidak mampu membeli buku. Di negara maju seperti United Kingdom, satu pertiga daripada jumlah kanak-kanak tidak memiliki buku, manakala di Amerika Syarikat pula, dua per tiga daripada kanak-kanak yang hidup dalam kemiskinan tidak memiliki buku.\nMaka itu, pada tarikh 14 Februari setiap tahun, Hari Pemberian Buku Antarabangsa memfokuskan matlamat untuk menggalakkan masyarakat di seluruh dunia untuk memberikan buku kepada kanak-kanak. Selain itu, Hari Pemberian Buku Antarabangsa juga mengajak individu untuk melakukan perkara yang berikut:\nPada tahun 2012, buat pertama kalinya Hari Pemberian Buku Antarabangsa disambut oleh beberapa negara di dunia. Detiknya bermula apabila Amy Broadmore dan anaknya mencetuskan idea untuk Hari Pemberian Buku Antarabangsa dengan kerjasama Delightful Children\u2019s Books. Seterusnya, pasangan ibu dan anak itu kemudian bekerja dengan Zoe Toft untuk merealisasikan hari yang signifikan itu.\nSetelah berjaya mendapatkan insentif dan mengadakan aktiviti bagi mengisi sambutan Hari Pemberian Buku Antarabangsa, mereka menyerahkan semua urusan berkaitan dengan Hari Pemberian Buku Antarabangsa kepada Emma Perry pada tahun 2013, yang hingga kini mengendalikan laman web.\nSejak itu, Hari Pemberian Buku Antarabangsa terus bersemarak dan disambut dengan penuh kesedaran tentang pentingnya berkongsi dan memberikan buku kepada orang lain.\nPada tahun 2014, Hari Pemberian Buku Antarabangsa telah disambut oleh masyarakat di Australia, Kanada, Afrika Selatan, Perancis, India, Ireland, Jepun, New Zealand, Singapura, Filipina, Turki, United Kingdom, Amerika Syarikat, Jerman, Nigeria, Nicaragua, Brazil, Mesir, Poland, Greece, Portugal, Mexico, Macedonia, Malawi, Hungary, Malaysia, Israel, Denmark, Thailand, Indonesia, Jordan, China, Puerto Rico dan Bulgaria.\nDengan adanya sambutan dan kesedaran tentang Hari Pemberian Buku Antarabangsa, diharapkan masyarakat di seluruh dunia akan memikirkan cara terbaik untuk membantu kanak-kanak yang memerlukan bahan bacaan dalam komuniti mereka. Terdapat enam cara untuk menyertai Hari Pemberian Buku Antarabangsa, iaitu:\nBuku dilihat memiliki kuasa infiniti. Dengan adanya kuasa itulah, buku boleh membawa kita menjelajah ke dunia baharu, mengajar kita tentang perkara baharu, memberikan inspirasi, membuatkan kita menangis atau ketawa, dan membawa kita mengimbau memori lama yang penting dalam hidup kita.\nBagi kanak-kanak pula, kenangan terindahnya mungkin tentang buku cerita yang dibacakan kepadanya sebelum tidur, atau buku yang dibacanya dalam tempoh dia membesar. Bagi golongan remaja pula, minatnya pada buku mungkin sambungan daripada genre buku yang dibacanya semasa dia kecil. Apabila telah menginjak dewasa, ada dua kemungkinan, sama ada golongan ini masih membaca atau sudah tidak berminat membaca buku.\nWalau apa-apa pun situasinya, raikan Hari Pemberian Buku Antarabangsa sambil membuat kebaikan dengan cara memberikan buku kepada orang lain, terutamanya kanak-kanak, dan menyebarkan kegembiraan melalui buku.\nSememangnya, Hari Pemberian Buku Antarabangsa dikhaskan untuk menyemai minat membaca sepanjang hayat, terutamanya kepada kanak-kanak, dan menyediakan buku untuk kanak-kanak yang memerlukan bahan bacaan bagi mengisi masa lapang." "DBP Terus Menggalas Tanggungjawab Pengkaryaan dan Penerbitan Ilmiah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nPengkaryaan ilmiah merupakan satu daripada komponen industri penerbitan yang memberikan sumbangan besar kepada usaha mencerdaskan dan meningkatkan keintelektualan bangsa kerana kebanyakan pengkaryaan dan penerbitan bahan ilmiah berasaskan bahan penyelidikan dan pemikiran sarjana daripada pelbagai bidang kepakaran.\nKomponen ini melibatkan aktiviti pemeliharaan dan penyebaran ilmu dan ketamadunan sesuatu bangsa dan negara. Lebih daripada itu, penerbitan ilmiah juga merupakan indeks atau petunjuk bagi kemajuan sesuatu bangsa dan negara.\nMenelusuri peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam pengkaryaan dan penerbitan ilmiah, tidak dapat dinafikan bahawa institusi ini berupaya menggalas tanggungjawab besar dalam usaha mengindustrikan dan melestarikan bahasa dan persuratan Melayu.\nBagi memastikan bahasa Melayu kekal menunjangi ketamadunan negara seperti yang dihasratkan oleh pejuang bahasa Melayu, DBP merangka tiga teras strategik, iaitu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, bahasa negara dan bahasa ilmu.\nPenerbitan ilmiah menjadi satu daripada tunjang utama dalam pemartabatan dan pemerkasaan khazanah persuratan Melayu sebagai bahasa ilmu. Pelbagai bentuk pengkaryaan ilmiah diterbitkan oleh DBP, sama ada dalam bentuk bercetak atau digital, daripada pelbagai bidang ilmu untuk pelbagai kumpulan sasaran pembaca, iaitu daripada kanak-kanak, remaja sehingga dewasa.\nPenerbitan ilmiah agak berbeza dari segi pengisian dan anatominya berbanding dengan penerbitan bacaan umum yang lain. Di DBP, pengisian dan pengkaryaan ilmiah memfokuskan hasil penulisan dan penyelidikan yang tinggi nilainya berpandukan dua kelompok bidang ilmu yang besar, iaitu sains teknologi dan sains sosial.\nPara sarjana mengklasifikasikan buku ilmiah sebagai buku yang diterbitkan untuk pembaca golongan tertentu, iaitu pembaca yang berkaitan rapat dengan dunia akademik peringkat tinggi, seperti pentadbir, pelajar institusi pengajian tinggi, pensyarah dan ahli profesional pelbagai bidang.\nBentuk penerbitan ilmiah di DBP merujuk karya asli, jurnal, monograf, karya terjemahan dan karya suntingan, serta yang seumpamanya yang memerlukan penyemakan teliti daripada penilai yang mahir dalam bidang berkenaan. Oleh sebab itu, prosedur penerbitan ilmiah di DBP melalui proses yang agak panjang dan begitu teliti bagi menjamin mutu dan kewibawaan ilmu pengetahuan yang akan dikongsi dan disebarkan.\nDBP turut mempunyai garis panduan khusus dan tertentu dalam penerbitan sesuatu karya ilmiah dalam bahasa lain. Walaupun penulisan ilmiah terbitan DBP memberikan keutamaan terhadap penerbitan berbahasa Melayu sebagai wahana perkembangan ilmu dan tamadun bangsa, penerbitan dalam bahasa lain turut diberikan perhatian.\nKecaknaan usaha penerbitan alam bahasa lain ini terbukti apabila Akta Dewan Bahasa dan Pustaka membenarkan penerbitan karya dalam bahasa lain, terutamanya yang berkaitan dengan pengembangan bahasa dan sastera negara, serta yang berkaitan dengan kepentingan pendidikan negara.\nSebagai sebuah institusi penerbitan khazanah Melayu yang berwibawa, cabaran yang dihadapi oleh DBP untuk mendapatkan bahan ilmiah yang tinggi nilai pengetahuan dan keintelektualannya tidak dapat dinafikan. Cabaran ini perlu ditangani dengan bijaksana kerana dasar penerbitan DBP, sama ada penerbitan secara konvensional atau elektronik mensyaratkan kandungan yang bermutu yang dapat memenuhi keperluan pembaca.\nDasar ini bertujuan untuk memastikan judul ilmiah yang diterbitkan memberikan manfaat besar kepada pembaca, selain memenuhi tanggungjawab sosial DBP. Bagi DBP, selain meningkatkan kuantiti judul buku yang diterbitkan, aspek kualiti kandungan dan persembahan turut diberikan keutamaan.\nSebelum membuat keputusan untuk menerbitkan sesuatu judul, penilaian dibuat oleh tenaga dalaman dan pakar luar. Ada judul yang dinilai melebihi sekali penilaian oleh pakar luar bagi menjamin kualiti kandungan buku yang akan diterbitkan.\nPelbagai kursus, bengkel atau seminar turut dianjurkan bagi mempersiapkan dan memperlengkapkan penulis dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu karya ilmiah yang bermutu. Persediaan dari aspek motivasi juga diberikan perhatian agar karya yang ditulis diusahakan secara konsisten sehingga selesai.\nKegiatan pengkaryaan dan penerbitan ilmiah di DBP bukan semata-mata kegiatan perdagangan atau komersial tetapi turut melibatkan tanggungjawab dari aspek kebudayaan, keilmuan dan keintelektualan. Sebagai agensi kerajaan, bukan semua bahan terbitan DBP bermotifkan keuntungan komersial.\nTerdapat juga bahan terbitan DBP, khususnya bahan ilmiah diterbitkan untuk memenuhi tanggungjawab sosial seperti yang dinyatakan. Oleh sebab itu, ada judul terbitan yang tidak memberikan keuntungan tetapi diharapkan dapat memberikan impak yang besar dalam memenuhi tanggungjawab sosial DBP.\nDalam penerbitan buku ilmiah, walaupun DBP diberikan tanggungjawab untuk menerbitkan banyak judul, tidak semua buku tersebut dicetak dalam kuantiti yang banyak. Contohnya, buku bagi tujuan rujukan dan pembelajaran dicetak dalam kuantiti yang sedikit dengan kos yang tinggi. Ada antara buku tersebut yang diterbitkan semata-mata untuk memenuhi keperluan lebih kurang 100 orang pelajar sahaja, sedangkan kos penerbitan tidak jauh berbeza daripada judul yang diterbitkan dalam skala yang besar.\nSebagai kesimpulannya, pengkaryaan dan penerbitan ilmiah di DBP ialah wahana pembinaan dan penyebaran khazanah ilmu yang menyumbang kepada peningkatan kualiti kehidupan dan kemajuan masyarakat di Malaysia.\nSejarah kebudayaan dan tamadun kemanusiaan sesebuah negara membuktikan bahawa tanpa kegiatan penerbitan, khususnya pengkaryaan ilmiah yang aktif dan pesat, kemajuan sebuah masyarakat tidak berkekalan jauh sekali untuk berkembang. Sebaliknya, menerusi usaha pengkaryaan dan penerbitan yang mantap, pengaruh ketamadunan masyarakat itu akan berpanjangan dan tersebar ke seluruh pelosok benua.\nHal ini dikatakan demikian kerana pengkaryaan dan penerbitan ilmiah berfungsi untuk membina khazanah ilmu yang menyumbang kepada peningkatan kualiti kehidupan dan kemajuan sesebuah masyarakat. Secara tidak langsung, hal ini dapat membantu mendokumentasikan pelbagai peristiwa atau sejarah, serta pelbagai penemuan dan hasil penyelidikan untuk dimanfaatkan oleh masyarakat pembaca. Menerusi amanah ini, DBP perlu terus menjuarai dan melestarikan pengkaryaan ilmiah di negara ini." "Banci 2020: Penurunan Peratusan Golongan Muda\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 menunjukkan penurunan peratusan golongan muda daripada 27.6 peratus pada tahun 2010 kepada 24.0 peratus pada tahun 2020.\nPerdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 6.8 peratus berumur 65 tahun dan ke atas, 69.3 peratus ialah umur bekerja (15 hingga 64 tahun) dan bakinya 24.0 peratus dalam kalangan umur muda (0 hingga 14 tahun).\nTambah beliau, warga emas berumur 60 tahun ke atas direkodkan sebanyak 10.4 peratus (3.4 juta) berbanding dengan 8.0 peratus pada tahun 2010.\nPenemuan utama bancian ini juga mendapati, daripada 32.4 juta yang dibanci, terdapat 52.3 peratus terdiri daripada lelaki, manakala 47.7 peratus ialah perempuan.\nHal ini menjadikan nisbah jantina adalah 110 bagi lelaki berbanding dengan 100 wanita.\nNamun begitu, Putrajaya menunjukkan bilangan wanita melebihi lelaki hasil daripada bancian.\n\u201cRentetan itu, hasil kajian mendapati bahawa 100 orang wanita bersamaan 96 orang lelaki,\u201d katanya yang berucap merasmikan Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 di MSU (Management & Science University) hari ini.\nSelain itu, bagi statistik mengikut etnik, penduduk Bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak 69.4 peratus, diikuti etnik Cina (23.2%), India (6.7%) dan lain-lain (0.7%).\nSementara itu, penduduk Malaysia yang berjumlah 32.4 juta mempunyai Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) sebanyak 1.7 peratus dalam tempoh 10 tahun.\nMenurut beliau lagi, kesemua penemuan Banci 2020 akan menjadi tanda aras baharu untuk kerajaan menggariskan polisi dan dasar yang berkaitan dengan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.\nMalah, hal ini memberikan input yang menyeluruh dalam perlaksanaan dasar sedia ada, iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Agenda 2030 Pembangunan Mapan (SDGs)." "Hampir 170 Ribu Kanak-kanak di Malaysia telah Divaksin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Seramai hampir 170 ribu kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan lima hingga 11 tahun telah menerima dos vaksin COVID-19 yang pertama melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam. Bilangan yang mencecah 4.8 peratus populasi kanak-kanak di Malaysia itu dicatatkan sejak PICKids dilancarkan pada 3 Februari yang lalu.\nDalam pada itu, sebilangan besar rakyat di negara ini juga mendapat vaksin bagi dos pertama dan kedua, yakni 98.7 peratus telah menerima satu dos, manakala 97.5 peratus telah melengkapkan vaksinasi. Bagi dos penggalak, sejumlah 13 juta atau 56.4 peratus populasi dewasa dalam negara mendapatkan sejak perkara itu diumumkan oleh kerajaan melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Penggalak (Booster) atau lebih dikenali sebagai PICK-B pada 13 Oktober 2021 susulan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses COVID-19 (JKJAV) Bil. 18/2021 pada 30 September 2021.\nBagi mencapai imuniti kelompok, setelah majoriti orang dewasa mendapat vaksin, kerajaan mula membuka suntikan vaksinasi kepada golongan remaja, seterusnya kanak-kanak bagi memastikan perlindungan diberikan kepada setiap lapisan masyarakat.\nSetakat 13 Februari 2022, vaksinasi harian mencatatkan 118 875 dos vaksin diberikan meliputi 35 441 dos pertama, 649 dos kedua dan 82 785 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah PICK sebanyak 65 042 686 dos.\nNamun begitu, kes jangkitan COVID-19 harian semakin meningkat oleh sebab varian Omicron yang semakin mudah menular lebih-lebih lagi setelah sektor ekonomi dan pelancongan juga sudah dibuka secara sepenuhnya.\nWarga Malaysia dinasihati untuk terus menjaga kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun secara kerap, sentiasa memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal, memanfaatkan aplikasi MySejahtera dan mengelakkan diri daripada tempat yang sesak." "Peranan Radio dalam Memperkukuh Nilai Kesopanan dan Kesusilaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSetiap tahun pada 13 Februari akan berlangsungnya hari memperingati sejarah penciptaan radio sedunia. Sambutan ini diilhamkan oleh Spanish Academy of Radio\u00a0yang merupakan ahli Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO), yang menyifatkan radio antara instrumen terpenting dalam transformasi sosial masyarakat dunia. Radio telah menjadi suatu keperluan dalam semua keadaan sama ada sebagai penyampai maklumat dan hebahan ataupun menyiarkan lagu-lagu, serta menyediakan pelbagai segmen menarik yang mampu memberikan pengetahuan dan juga dapat menyentuh nurani para pendengar.\nPerkataan \u201cradio\u201d berdasarkan Pusat Rujukan Persuratan Melayu bermaksud pemancaran (penghantaran, pengiriman, siaran) bunyi dan lain-lain menerusi udara.\nMerujuk istilah Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia atau MABBIM, terdapat lebih daripada 40 istilah berkenaan dengan radio yang meliputi pelbagai bidang seperti aeroangkasa, teknologi maklumat, perikanan, kejuruteraan, komunikasi massa, kejuruteraan kapal terbang dan ekonomi. Demikian pesatnya perkataan radio dalam kegunaan manusia seharian khususnya yang berkaitan dengan komunikasi.\nEvolusi penciptaan radio bermula pada tahun 1895, apabila seorang jurutera elektrik bernama Guglielmo Marconi dari Itali, iaitu manusia yang pertama berjaya menghantar dan menerima isyarat radio. Kemudiannya, seorang ahli fizik Amerika yang bernama Reginald Fessenden berasal dari Kanada telah mencipta sejarah dengan membuat siaran radio pertama dan turut menyampaikan mesej suara pertama di dunia pada tahun 1906.\nSemenjak itu, radio menjadi alat penting dalam sistem komunikasi manusia moden. Melalui alat ini, pelbagai maklumat dapat disalurkan dengan lebih cepat dan tepat berbanding dengan pelbagai kaedah penyampaian komunikasi tradisional sebelum itu yang menggunakan khidmat perwakilan untuk menghantar informasi seperti burung merpati, perisik dan sudah tentu kaedah ini mengambil tempoh yang lama untuk sampai ke lokasi berkenaan. \nOleh itu, penciptaan radio merupakan satu inisiatif rekayasa untuk memantapkan medium ini agar dapat digunakan dengan meluas.\nMalaysia, tanah air tercinta ini juga tidak terlepas daripada menerima tempias perkembangan pesat tersebut. Sejarah radio di Malaysia bermula pada tahun 1921 apabila Al Birch, seorang jurutera elektrik kerajaan Johor telah membawa set radio pertama ke negara ini melalui gelombang 300 meter sebagai pemula siaran. Beliau telah menubuhkan Persatuan Wireless Johor, Persatuan Wireless Pulau Pinang dan Persatuan Wireless Malaysia di Kuala Lumpur.\nLanjutan daripada itu, pada tahun 1930, Sir Earl daripada Lembaga Pelabuhan Singapura melancarkan siaran gelombang pendek setiap dua minggu sekali sama ada pada hari Ahad atau Rabu. Kemudian, usaha tersebut diteruskan oleh Persatuan Wireless Malaysia yang melancarkan siarannya dari Bukit Petaling, Kuala Lumpur melalui gelombang 325 meter.\nPerkembangan radio semakin giat diusahakan, antaranya Sir Shenton Thomas telah membuka Studio Perbadanan Penyiaran British dengan menggunakan pemancarnya di Caldecott Hill, Singapura pada 11 Mac 1937. Seterusnya, Perbadanan Penyiaran British Malaya diambil alih oleh Negeri-Negeri Selat dan menjadi sebahagian daripada Kementerian Penerangan British yang dikenali dengan nama Perbadanan Penyiaran Malaya.\nKesinambungan sejarah ini, jelas menunjukkan betapa pentingnya radio dalam memainkan peranannya sebagai penyebar maklumat kepada masyarakat, lebih-lebih lagi dalam menyalurkan informasi berkenaan dengan polisi atau dasar kerajaan kepada seluruh masyarakat agar dapat menerima maklumat dengan betul.\nBerdasarkan penelitian, sehingga kini terdapat lebih daripada 50 buah stesen radio yang meliputi 31 buah stesen radio di bawah jenama urus tadbir Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) yang terdiri daripada radio bertaraf nasional, radio negeri dan juga radio daerah.\nSementara itu, sebanyak 28 stesen radio dari sektor swasta yang diuruskan oleh syarikat seperti Astro dan Media Prima Audio (MPA), ataupun radio daripada syarikat persendirian yang memberikan saingan dalam industri ini. Berdasarkan rekod pada tahun 2020, rangkaian keseluruhan radio Astro mencatatkan 331.2 juta pendengar digital, manakala bagi tahun 2021, rangkaian MPA telah mencatatkan sehingga 57 juta pendengar digital.\nDalam pasaran komunikasi era kini, radio juga melaksanakan fungsinya berdasarkan kuasa pengguna. Jika dahulu radio berfungsi sebagai alat komunikasi dalam menyalurkan mesej atau perkongsian tertentu berkaitan dengan aspirasi kerajaan atau pihak tertentu, tetapi kini radio telah berkembang sifat dan fungsinya dengan menjadi alat separa hiburan kepada para pendengarnya.\nMenurut kajian yang dilaksanakan oleh Radio Audience Measurement (RAM) Survey Wave 2 pada tahun 2020, didapati bahawa radio masih relevan sepanjang tempoh pandemik COVID-19 dengan mencapai 93.6 peratus jumlah pendengar yang berusia 10 tahun dan ke atas di Semenanjung Malaysia. Hal ini membuktikan bahawa radio masih menguasai perkembangan maklumat abad ke-21.\nPerkembangan ini juga turut memberikan impak yang besar kepada radio berbahasa Melayu dengan menonjolkan citra kehidupan kontemporari, berunsurkan komersial, gaya hidup sofistikated serta menampilkan citra jati diri dan warisan budaya bangsa. Tidak dinafikan, personaliti mahupun penyampai yang dipilih oleh stesen radio memberikan pengaruh yang cukup besar kepada pendengarnya dan sekali gus mempengaruhi kedudukan sesebuah radio berkenaan.\nWalau bagaimanapun, di sebalik pencapaian hebat sesebuah radio, terdapat kebimbangan yang diutarakan daripada pelbagai pihak berkaitan dengan senario penyampai radio yang menyebabkan isu kerancuan atau campur aduk bahasa kebangsaan berleluasa.\nTidaklah tepat sekiranya ada stesen radio di negara ini yang menjadikan faktor untuk memenuhi selera pendengar sebagai alasan utama sehingga mengabaikan tanggungjawabnya untuk menyuburkan prinsip Rukun Negara yang telah dimuafakati bersama-sama dengan nilai dan aspirasinya. Prinsip kelima yang menekankan nilai \u201ckesopanan dan kesusilaan\u201c kelihatannya semakin longgar dalam realiti hidup masyarakat dan terdapat pihak yang beranggapan bahawa penyampai radio ialah penyumbang kepada berlakunya hal tersebut. Buktinya, Mstar secara dalam talian telah menyelar tindakan seorang penyampai radio yang bersikap kurang sopan kerana mentertawakan seorang guru yang sedang mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris kepada pendengar.\nTidak dinafikan bahawa perkembangan radio digital merupakan faktor penyebab kepada peningkatan capaian pendengar kerana dapat diakses dengan mudah dan tiada had sempadan. Terdapat suatu perkongsian daripada pendengar yang bermastautin di United Kingdom baru-baru ini, tentang maklum balas rakan-rakan berbangsa asing yang sedikit terkejut dengan cara penyampaian oleh penyampai radio yang menggunakan bahasa Inggeris dan mencampuradukkannya dengan bahasa Melayu secara kerap, sehingga menimbulkan pertanyaan, adakah menjadi kelaziman cara berbahasa rakyat Malaysia sedemikian?\nImpaknya, perkara ini memberikan citra yang tidak tepat tentang Malaysia. Dalam satu perkongsian lain menerusi Slot Sembang KL terbitan KL FM, RTM oleh Dr. Hazami Jahari, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka, turut menyatakan bahawa seorang duta dari negara Perancis juga bernada yang sama apabila beliau sukar mendapatkan stesen radio di negara ini yang secara sepenuhnya menggunakan bahasa Melayu.\nDalam hal ini, sudah pasti penyelesaiannya tertumpu kepada semua pihak khususnya warga sektor komunikasi untuk mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia, agar hasrat untuk melahirkan warganegara yang berketerampilan dalam berbahasa serta menepati prinsip kelima Rukun Negara dapat direalisasikan dengan jayanya.\nOleh itu, suatu harapan yang besar kepada seluruh stesen radio berbahasa Melayu agar memastikan penyampai radio yang dipilih memenuhi kriteria sebagai agen penting memperkukuh penggunaan bahasa Melayu. Suara dan celoteh penyampai radio ialah simbol kepada kecaknaan bahasa, manakala ucapan lisannya ialah lambang kepada pendekatan keperibadian penuh hikmah dan santun berbudaya oleh radio yang diwakilinya.\nSemoga stesen radio terus menjadi model praktikal kesopanan dan kesusilaan yang dapat menstabilkan perpaduan dan keharmonian masyarakat.\nSelamat Menyambut Hari Radio Sedunia 2022. \u201cRadio dan Keyakinan\u201d!" "Keluarga Malaysia: Impak Komunikasi kepada Psikologi Perkembangan Generasi Muda\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kepetahan Raifa Zulkifli (penyampai) berjaya mengimbangi dengan huraian daripada panel undangan,\u00a0iaitu Profesor\u00a0Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Pakar Psikologi Bahasa dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia yang mengupas tajuk perbincangan \u201cKomunikasi Bina Keyakinan Anak-anak Malaysia\u201d pada\u00a0hari ini melalui slot Temu Bual Bernama Radio.\nCetusan perbincangan ini bertitik tolak daripada usaha mewujudkan sistem penyampaian dan komunikasi yang dikatakan perlu dimantapkan dan dipermudahkan,\u00a0serta disesuaikan dengan keperluan seluruh masyarakat,\u00a0khususnya anak-anak muda Keluarga Malaysia.\nSetelah diteliti oleh penyelidik dan pakar, bahawa konflik sosial yang berlaku dalam kalangan generasi muda ini adalah berpunca daripada faktor komunikasi yang lemah dalam institusi keluarga dan masyarakat.\nMenurut\u00a0Dr. Jessica,\u00a0komunikasi yang berkesan mempunyai kaitan dengan perbezaan mengikut situasi tertentu,\u00a0khususnya faktor demografi, geografi, masyarakat luar bandar mahupun di kota besar. Komunikasi yang dijelaskan melalui kes-kes yang mendapat penelitian beliau ialah merujuk komunikasi lisan dan bertulis (media sosial). Hal ini perlulah disedari oleh setiap daripada kita tentang konteks komunikasi pada zaman era ini,\u00a0khususnya terhadap anak-anak muda.\nSekiranya berlaku krisis identiti dalam sesebuah keluarga atau masyarakat, komunikasi menjadi elemen yang paling tidak dapat diperbaiki dan dipulihkan. Dalam konteks ini, Dr. Jessica\u00a0berpendapat bahawa konflik atau krisis yang berlaku seharusnya mereka disantuni dengan rasa kasih sayang dan perhatian, malahan\u00a0peranan ahli keluarga sangat penting dalam menyelesaikan permasalahan.\nJika ditelusuri dengan lebih mendalam, hal ini juga boleh berlaku sekiranya mempunyai komunikasi yang berimpak negatif yang dipengaruhi oleh persekitaran dan rakan sebaya. Ditambah lagi dengan tiadanya ruang komunikasi yang tercipta antara anak-anak dengan ibu bapa, keluarga dan masyarakat menyebabkan konflik dan krisis tersebut tidak dapat menemui\u00a0jalan penyelesaian.\nTambah beliau,\u00a0komunikasi positif antara ahli keluarga,\u00a0masyarakat dan rakan-rakan amat penting dalam membina keyakinan diri seorang kanak-kanak atau remaja yang terlibat dalam permasalahan ini. Sekiranya wujud komunikasi positif, maka mereka dapat membina keyakinan diri, percaya terhadap kemampuan diri, dan mereka ini mampu\u00a0untuk meluahkan pendapat, serta berupaya untuk menjadi orang yang berjaya.\nSatu perkara yang perlu diambil perhatian ialah hindari daripada mereka berasa terpinggir\u00a0dan\u00a0terabai. Keprihatinan semua pihak amat perlu untuk mereka berhadapan dengan konflik atau krisis identiti yang dialami oleh mereka dan yang paling penting tindak balas persekitaran,\u00a0termasuklah\u00a0keluarga dan masyarakat akan mempengaruhi mereka dalam berinteraksi.\n\u201cJangan mudah kita menghakimi atau menghukum kanak-kanak atau remaja yang terlibat dengan pelbagai konflik sosial, kita sebagai orang dewasa,\u00a0khususnya ibu bapa haruslah sentiasa menggunakan pendekatan komunikasi dalam membina hubungan kita sebagai rakan baik kepada kanak-kanak dan remaja ini,\u201d kata Dr. Jessica\u00a0\nKeperibadian kanak-kanak Keluarga Malaysia ini menurutnya lagi akan terbina perilaku dan tutur katanya sejak kecil lagi. Oleh hal yang demikian, ibu bapa harus sedar daripada peringkat awal tentang perkembangan komunikasi kanak-kanak. Sekiranya timbul keraguan pada tutur katanya, bahasa tubuhnya, seperti gerak bibir dan akhirnya kepada tulisannya, sudah pasti ada sesuatu yang berlaku kepada mereka ini.\nDalam era kini, radio juga menjadi pempengaruh penting kepada cara komunikasi anak-anak, maka warga media seperti radio juga bersama-sama menjalankan tanggungjawab dengan menggunakan bahasa dan tutur kata yang baik dan berkesan ujarnya lagi. Begitu juga dengan media sosial, sebagai masyarakat yang prihatin dan cakna kepada anak-anak, kita mesti memantau dan membimbing mereka dengan efektif agar media sosial tersebut tidak disalahgunakan dengan tujuan yang tidak berfaedah.\nSaranan yang boleh dilaksanakan oleh pihak kerajaan menangani isu ini dalam masyarakat ialah meluaskan lagi program bimbingan dan latihan kemahiran,\u00a0serta kepakaran kepada anak-anak Keluarga Malaysia. Pematuhan aspek disiplin adalah kunci yang paling penting bagi melentur anak-anak dalam menjalani kehidupan mereka dengan lebih optimis dan berjaya.\nKomunikasi kepada generasi hari ini khususnya kepada kanak-kanak dan remaja haruslah sentiasa seiring dengan trend kehidupan mereka. Pendidikan berkaitan komunikasi yang khusus ini juga sudah boleh mula diperkenalkan pada peringkat sekolah lagi.\nMedium telekomunikasi merupakan satu daripada cara untuk kita menyampaikan pendidikan komunikasi. Ibu bapa, guru dan masyarakat perlu berganding bahu bersama-sama agar dapat mewujudkan komuniti yang akan bersama-sama membina keyakinan anak-anak Keluarga Malaysia.\nKita tidak lagi menggunakan bahasa rotan sebagai mendidik, tetapi mencari jalan komunikasi\u00a0yang\u00a0berkesan untuk melahirkan generasi yang berminda kelas pertama diikuti dengan budi bahasa dan adab sopan\u00a0yang mulia." "Media Rakan Strategik Kerajaan Negeri Melaka\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMelaka \u2013 Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali, mengiktiraf media sebagai rakan strategik kerajaan di bawah kepimpinannya. Menurut beliau, peranan pengamal media pada masa ini, khususnya di Melaka dilihat amat penting dan saling memerlukan dalam memperkukuh pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka. Hal ini dikatakan demikian kerana media menjadi penyampai berita yang sangat dipercayai dalam membawa maklumat yang tepat kepada rakyat di negeri itu.\n\u201cMenyedari akan peranan penting media di negeri ini, pada malam ini saya dan rakan-rakan dalam kepimpinan kerajaan ingin menyampaikan ucapan jutaan terima kasih atas kerjasama baik yang diberikan oleh seluruh pengamal media di negeri ini. Maka itu, saya berbesar hati mengiktiraf media sebagai rakan strategik Kerajaan Negeri Melaka,\u201d ucapnya pada majlis Anugerah Media Melaka 2021 yang berlangsung pada malam ini di Hotel LaCrista, Melaka.\nTambah beliau, pengamal media sama ada media cetak, elektronik mahupun media digital turut berperanan penting dalam menyumbang kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung pada 20 November 2021. Dalam PRN itu menyaksikan BN menang 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Kemenangan selesa tersebut telah membawa BN membentuk kerajaan baharu dengan majoriti dua per tiga.\n\u201cSumbangan anda banyak membantu menjayakan kemenangan BN dalam PRN yang lalu, khususnya dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada pengundi tatkala kempen pilihan raya terpaksa dihadkan akibat pandemik COVID-19,\u201d ujar YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali.\nSelain itu, beliau turut memberikan penekanan terhadap hubungan yang sedia terjalin antara pengamal media dengan Kerajaan Negeri Melaka dan mencadangkan hubungan tersebut terus diperkasakan pada masa akan datang. Sebagai rakan strategik, pihaknya akan sedia menerima kritikan, teguran dan cadangan daripada rakan media untuk terus membangunkan Melaka. Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan pengamal media di negeri ini bahawa kritikan atau cadangan tersebut perlu disampaikan menerusi saluran yang betul dan bukannya dengan cara menjatuhkan imej seseorang.\n\u201cMelaka amat menghormati kebebasan media, namun perkara yang penting ialah kebebasan tersebut perlu didasari dengan tanggungjawab yang besar dalam menyebarkan maklumat kepada rakyat. Paling penting, semua pihak perlu bertanggungjawab dengan apa-apa sahaja kritikan dan penulisan yang dibuat. Jika kita menghormati antara satu dengan lain, maka hubungan ini akan membawa kemajuan dan kemakmuran kepada rakyat dan negeri Melaka,\u201d ujarnya.\nDalam majlis berprestij ini, turut dilancarkan buku bertajuk Sulaiman Md Ali\u00a0yang menceritakan serba ringkas perjalanan Ketua Menteri Melaka ke-12, YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali, bermula pada 9 Mac 2020, iaitu tarikh rasmi beliau menjadi nakhoda bumi Hang Tuah. Segala memori indah rakaman perjalanan itu diabadikan dalam buku setebal 236 halaman ini." "Pengarah Jabatan Penerbitan DBP Menerima Anugerah Khas Ketua Menteri Melaka\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMelaka \u2013 Anugerah Media Melaka 2021 yang ditangguhkan pada penghujung tahun lalu bagi memberikan laluan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, akhirnya berjaya dilaksanakan pada 14 Februari 2021 bertempat di Hotel LaCrista, Melaka. Anugerah media yang mula diadakan pada tahun 2020 ini adalah untuk memberikan pengiktirafan kepada pengamal media di negeri ini atau media yang telah mengetengahkan pelbagai isu kemasyarakatan, kemanusiaan, sosial, ekonomi dan politik berkaitan dengan negeri Melaka.\nAcara dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan Pelancaran Buku Autobiografi YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali, Ketua Menteri Melaka yang menceritakan serba ringkas perjalanan Ketua Menteri Melaka ke-12 bermula pada 9 Mac 2020 yang menjadi tarikh rasmi beliau memimpin Kerajaan Negeri Melaka. Segala kenangan dan perjalanan beliau sepanjang mengemudi negeri tersebut diabadikan dalam buku setebal 236 halaman itu.\nPenyertaan media bagi anugerah ini melibatkan media konvensional dan media baharu yang disertai oleh pertubuhan media seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), Media Prima, Utusan Malaysia, KOSMO, New Strait Times (NSTP), Awani, Sinar Harian serta Melaka Hari Ini (MHI).\nTerdapat lapan kategori bagi Anugerah Media Negeri Melaka 2021 yang dipertandingkan pada kali ini, iaitu Berita Cemerlang, Laporan TV Cemerlang, Kandungan Radio Cemerlang, Foto Cemerlang, Personaliti Media Cemerlang, serta dua anugerah tertinggi yang diumumkan pada kemuncak acara, iaitu Anugerah Khas Ketua Menteri serta Anugerah Emas Ketua Menteri.\nAnugerah ini merupakan inisiatif Ketua Menteri Melaka untuk menghargai komitmen pihak media yang bertanggungjawab membuat liputan untuk negeri Melaka, selain dapat menghimpunkan\u00a0 pengamal media yang telah membuat pelbagai liputan secara seimbang di negeri Melaka. Setiap kategori yang dipertandingkan menawarkan hadiah berjumlah RM3000 bagi Pemenang Emas, RM1500 bagi Pemenang Perak serta RM750 bagi Pemenang Gangsa. Pemenang bagi setiap kategori masing-masing turut menerima sijil penghargaan beserta piala.\nDalam ucapan awal, YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali menyifatkan peranan media kepada pentadbiran kerajaan negeri Melaka sangat penting. Tambah beliau, keakraban hubungan kerajaan negeri bersama-sama dengan pihak media berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan saling melengkapi antara satu sama lain. \u201cPeranan yang dimainkan oleh media membolehkan kerajaan meyalurkan maklumat penting kepada rakyat terutamanya semasa PRN lepas,\u201c jelas beliau. YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman juga merakamkan penghargaan kepada pihak media yang membantu kerajaan negeri menyampaikan hasrat dalam usaha melonjakkan pembangunan rakyat menerusi sebaran maklumat yang dilakukan.\nDalam majlis berprestij tersebut, Pengarah Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),Tuan Haji Razali Che Mat terpilih sebagai penerima Anugerah Khas Ketua Menteri Melaka atas penglibatan Jabatan Penerbitan, DBP yang menjalin usaha sama dengan pihak Kerajaan Negeri Melaka dengan menyiarkan liputan khas dalam majalah Dewan Masyarakat terbitan tahun 2021. Anugerah Khas ini disampaikan oleh YAB Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali sebelum acara kemuncak, iaitu penyampaian Anugerah Emas Ketua Menteri Melaka kepada Ketua Pegawai Eksekutif MHI, YBhg. Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.\nMenurut Ketua Juri Anugerah Media Melaka 2021, panel hakim menghadapi kesukaran untuk menilai keseluruhan karya yang dikemukakan untuk pencalonan anugerah ini berikutan persaingan yang begitu sengit daripada pelbagai agensi media. \u201cPemenang yang diiktiraf dan terpilih untuk menerima anugerah pada kali ini disifatkan sebagai calon yang terbaik dalam kalangan yang terbaik berikutan dengan jumlah sebanyak 80 penyertaan yang dikemukakan menyaksikan perbezaan markah yang begitu tipis,\u201d ujar Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknikal Melaka (UTEM) yang bertanggungjawab selaku Ketua Juri semasa penilaian bagi seluruh kategori.\nDalam ucapan khas Ketua Menteri sebelum berlangsungnya penyampaian anugerah kepada pemenang, YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman menyatakan bahawa kerajaan negeri sentiasa menghormati prinsip kebebasan media, namun beliau turut menyarankan pihak media supaya terus menampilkan laporan yang bertanggungjawab kerana kebebasan tersebut bukan bersifat mutlak. \u201cPihak media harus bertanggungjawab terhadap hasil liputan, tulisan, kritikan serta menyiarkan laporan yang tidak menjatuhkan reputasi mana-mana individu,\u201d ujar beliau semasa mengakhiri ucapan Anugerah Media Negeri Melaka 2021.\nSenarai Pemenang Anugerah Media Melaka 2021\nLaporan TV Cemerlang \nEmas: Mohamad Faris Haikal Mohd Zakaria (Dokumentari Adat Pepatih) \u2013 MHI\nPerak: Baharudin Mohamed (Lampu Solar Orang Asli) \u2013 TV3\nGangsa: Mahdi Abd Manaf (Keris Pusaka Melayu Melaka) \u2013 TV3\nKandungan Radio Cemerlang \nEmas: Raihan Abdul Rahim (Melaka Bersejarah Menggamit Dunia) \u2013 RTM Melaka\nPerak: Nor\u2019 Amalina Abdul Halim (Arah Kiblat) \u2013 RTM Melaka\nGangsa: Mohammad Azizi Shahril Abd Razak (Persada Pantun) \u2013 RTM Melaka\nAnugerah Rencana Cemerlang \nEmas: Nazri Abu Bakar (Rumahku Muzium 2 juta) \u2013 Harian Metro\nPerak: Shanika Abdullatib (Hilang Udang Geragau Lenyaplah Belacan Melaka) \u2013 BERNAMA\nGangsa: NurShuhadah Kadir (Deepavali: Hidupkan Warisan Masyarakat Chetti, Elak Kepupusan) \u2013 Awani\nAnugerah Berita Cemerlang\nEmas: Mohamad Fazrul bin Abdul Majid/Mohd Faiz Abu Hassan (Pencemaran Kritikal) \u2013 MHI\nPerak: Amran Mulup (Tidak Sekolah Tiada Sijil Lahir) \u2013 Utusan Malaysia\nGangsa: Teh Siau Tong (Kerajaan Melaka dan Jabatan Perikanan Melaka Mencadangkan Tiga Pulau Diwartakan sebagai \u2018Taman Laut\u2019 termasuk Pulau Undan, Pulau Dodol dan Pulau Nangka) \u2013 Sin Chew Daily\nAnugerah Foto Cemerlang \nEmas: Iqmal Hakim Rosman (Musim Bunga Keladi Macam dekat Oversea) \u2013 Harian Metro\nPerak: Ahmad Shahrin Syafeeq Ahmad Zamzuri (Year End Polls in Sarawak? Analysis Believe the November 20 Melaka Polls, as Antobe Lead to Elections in Sarawak Before the Year is Out. Uncertainty Over the Allegiance of the Soob) \u2013 NSTP\nGangsa: Rashidah Abdul Rahim (Kesan Pencemaran Tumpahan Minyak) \u2013 BERNAMA\nAnugerah Personaliti Media Cemerlang \nEmas: Nurul Asyikin Abdul Halim \u2013 RTM Melaka\nPerak: Nor Farhana Yaacob \u2013 Sinar Harian\nGangsa: Malini a/p Rangasamy \u2013 Makkal Osai\nAnugerah Khas Ketua Menteri Melaka\nAnugerah Emas Ketua Menteri Melaka" "Sukan Pupuk Integrasi Keluarga Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\n\u201cKita menang sama-sama, kita kalah pun sama-sama.\u201d\nKami mulakan ungkapan kata-kata daripada pemain nombor 10 yang hampir putus asa sebelum melangkah masuk padang Merdeka untuk separuh masa kedua dalam filem\u00a0Ola Bola. Kobar nasionalisme cintakan negara dan yang paling penting perpaduan antara kaum saling hormat menghormati diolah begitu baik dalam filem ini.\nTerima kasih Datuk Soh Chin Aun, James Wong, Hassan Sani, Bakri Ibni, Santokh Singh, Datuk Jamal Nasir dan mendiang R. Arumugam memperlihatkan bahawa kejayaan skuad Olimpik Moscow 1980 adalah hasil dari semangat sepasukan yang jitu hasil daripada setia kawan mereka yang utuh.\nSebelum filem ini dihasilkan, secara realiti, masyarakat sememangnya telah menjadikan sukan arena memupuk perpaduan dan sayangkan negara. Malah, debaran sebenar menantikan keputusan kalah atau menang pasukan atau ahli sukan yang mewakili negara, tidak dapat terungkap dengan kata-kata. Melalui filem ini penonton didedahkan tentang kesetiaan dalam perjuangan untuk negara melalui sukan, sifat kasih sayang dengan mengangkat nilai-nilai kekeluargaan, persahabatan dan juga perpaduan. Pengorbanan pemain-pemain negara untuk mengharumkan nama Malaysia dengan penuh komitmen merealisasikan impian harus kita fahami dan hayati.\nNilai kebersamaan sebagai sebuah Keluarga Malaysia dalam mengharungi cabaran pandemik ini amat penting dalam usaha ke arah kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia. Namun begitu, tanpa mengira jenis sukan yang menjadi pilihan sama ada bola sepak, badminton, olahraga, ragbi, tenis dan aktiviti sukan lain, mampu mengeratkan hubungan silaturahim. Sukan juga sebagai satu daripada kaedah memperkukuhkan pertahanan dalam diri setiap kita. Selain daripada aspek kesihatan, sukan menjadi alat meningkatkan semangat cintakan keamanan kerana daripada sukan jugalah kita memahami persaingan yang sihat.\nKajian menunjukkan kejayaan Malaysia menganjurkan acara Sukan Komanwel yang telah melibatkan 6000 orang atlet dan pegawai ini, serta pelibatan 2500 buah syarikat media cetak merekodkan sebanyak 500 juta penonton di seluruh dunia (Ku Muhammad Hussaini Ku Shabudin dan Jabil Mapjabil, 2010). Dalam menjayakan penganjuran sukan, negara bukan sahaja dapat menjana ekonomi, tetapi juga dapat meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat.\nPenyokong setia sukan bukan sahaja berpeluang menatap ahli sukan kegemaran mereka secara langsung di pentas arena sukan, malah dapat melihat melalui kaca televisyen. Tidak hairanlah sekiranya segmen sukan sentiasa sahaja mempunyai penonton yang tinggi jumlahnya, apatah lagi dalam suasana peminat sukan meraikan sukan dalam suasana pandemik. Sokongan padu kepada atlet negara tanpa mengira bangsa dan agama, mampu mengeratkan hubungan silaturahim dan yang paling penting tanpa kita sedari sukan menjadi agen nasionalisme yang paling kontemporari sifatnya.\nTidak hanya acara sukan di dalam negara, acara sukan di luar negara juga menyatukan keluarga Malaysia yang mempunyai sokongan kelab masing-masing yang akhirnya menjadi akrab dengan pertemuan di alam maya. Kejayaan ini juga dapat menempa nama Malaysia di persada antarabangsa, seterusnya memperkenalkan kepada masyarakat luar tentang keunikan Malaysia sebagai negara berbilang kaum. Malah yang paling dinamik bagaimana poster berelemenkan pantun, peribahasa dan simpulan bahasa berjaya dihubungkan oleh kreativiti Dewan Bahasa dan Pustaka bagi menarik perhatian peminat sukan negara.\nSukan dalam kalangan belia menjadi agenda penting nasional.\nPada peringkat institusi pengajian tinggi, khususnya universiti awam, sukan menjadi kokurikulum yang akan melahirkan graduan yang mempunyai pakej yang lengkap. Tahniah diucapkan kepada Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sebagai tuan rumah majlis anugerah sukan untuk MASUM 2019.\nPada 10 Februari 2022 telah berlangsung dengan jayanya setelah tertangguh dua tahun Anugerah Sukan MASUM (ASM) yang merupakan anjuran MASUM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang berjaya mengetengahkan bakat-bakat sukan dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi universiti awam dalam negara. Sumbangan atlet MASUM terus dihargai. Atlet yang melakar kecemerlangan sepanjang musim tahun 2019 diiktiraf dalam majlis Anugerah Sukan MASUM 2019 tersebut. YBhg. Datuk Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, merasmikan acara gemilang ini.\nMenurut Dr. Shahrulfadly Rustam, Pengarah Akademi Kecergasan Pertahanan UPNM, Majlis Anugerah MASUM merupakan anugerah kepada atlet-atlet yang telah bertanding dan juga telah memasuki pertandingan sukan yang diadakan sepanjang tahun 2019.\u00a0 Sokongan keluarga UPNM kepada atlet-atlet UPNM yang bertanding dalam acara sukan bagi mewakili UPNM, serta mengharumkan nama UPNM amat dihargai.\nDiharapkan anugerah yang dimenangi oleh atlet ini dapat memberi semangat kepada atlet-atlet untuk meneruskan kecemerlangan di dalam sukan yang diwakili dan dalam pengajian. MASUM akan menghantar atlet terbaik bagi mewakili Malaysia dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 di Ubon Ratchatnahi, Thailand dan Sukan Universiti Antarabangsa di Chengdu, China. \u00a0 \nHarapan kami, melalui pembabitan dalam bidang sukan dan pertandingan dapat ditanamkan semangat Keluarga Malaysia dengan kerjasama secara berpasukan dan berjemaah. Nilai positif dalam kepemimpinan didedahkan melalui sukan kepada generasi muda yang perlu memiliki daya kekuatan hingga mampu menggerakkan orang lain serta mempunyai daya tahan fizikal dan mental." "18 Orang Graduan MAIPs Diberi Jaminan Pekerjaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPulau Pinang \u2013 \u201c18 orang graduan tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) diberi jaminan penempatan pekerjaan dalam industri teknikal dan vokasional di Pulau Pinang,\u201d ujar Pengarah Urusan Walta Group, Goh Kheng Sneah pada Majlis Graduasi dan Penempatan Pekerjaan Walta Centre of Excellence (WCOE) Kali Pertama.\nMenurut Goh Kheng Sneah, 18 graduan tersebut yang merupakan sebahagian daripada keluarga asnaf di negeri Perlis tersebut berjaya menamatkan latihan Program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang Perkhidmatan Kejuruteraan Industri Automasi dengan jayanya di Walta Centre of Excellence (WCOE) menerusi tajaan MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM)\nMajlis yang diadakan di Plaza WCOE, Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang itu dirasmikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.\nTurut hadir ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Pengerusi ATAM (MAIPs), Tan Sri Halim Saad dan Datuk Seri Dr. Hilmi Haji Yahya, Penasihat WCOE, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan Penasihat Pelaburan Khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Lee Kah Choon.\nEmpat buah syarikat yang bakal disertai oleh 18 graduan tersebut adalah Walta Engineering Sdn. Bhd., Pentamaster Corporation Bhd, Eeway Precision Machining Sdn. Bhd. dan Max System Automation Sdn. Bhd.\nMasalah kekurangan pekerja mahir dan isu ketidaksepadanan dalam kalangan industri dan universiti telah mencapai tahap yang membimbangkan. Hal ini bukan sahaja menjadi salah satu faktor utama masalah pengangguran dalam kalangan graduan, bahkan sektor industri semakin bergantung kepada pekerja warga asing. Justeru bagi mengatasi masalah ini, kaedah penyelesaian melalui \u201cTeaching Factory\u201d atau \u201cKilang Pembelajaran\u201d yang terbukti keberkesanannya perlu dilaksanakan\nGoh Kheng Sneah turut berkata, WCOE berhasrat untuk membantu melahirkan lebih ramai pekerja mahir dalam industri automasi dan pemesinan. Kerjasama yang utuh antara pihak MAIPs, ATAM MAIPs dan WCOE telah berjaya membantu anak-anak asnaf terpilih di negeri Perlis untuk mengembangkan kemahiran teknikal, vokasional serta memupuk jati diri mereka.\nTambah Goh Kheng Sneah lagi, Walta Group menyediakan \u201cone stop solution\u201d yang merangkumi 7 buah syarikat yang berasaskan Fabrikasi (Fabrication), Automasi (Automation), Peralatan Standard (Standard Equipment), Produk Perubatan (Medical Product), MMS/Pembangunan Keusahawanan (Entrepreneurship Development) dan TVET/Pembangunan Kemahiran (Skill Development). Walta Group juga berusaha melahirkan lebih ramai pekerja mahir dan memupuk lebih ramai usahawan." "Kreativiti Komunikasi di Media Sosial\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKami menghargai semua penggiat, pengurus, juruhebah dan warga kerja dari 70 stesen radio di Malaysia.\nYAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri menyatakan radio bukan sahaja gaya hidup, namun satu daripada keperluan seharian yang penting dalam kehidupan masa ini. Platform media itu dapat terus menyebarkan informasi terkini kerana fungsi radio terus relevan sampai bila-bila. Melalui radio, semangat pejuang dapat dipupuk dalam kalangan rakyat demi mempertahankan tanah air.\nKini, radio menjadi nadi aspirasi di kala pagi, peneman di kala tengah hari dan hiburan di kala petang, saat Keluarga Malaysia memandu pulang, radio juga menjadi rakan yang akrab di sisi,\u201d katanya menerusi Facebook beliau hari ini.\nMenurut YB Tan Sri Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia pada sesi temu bual di Bernama Radio pada 13 Februari yang lalu, menyatakan bahawa kreativiti sangat penting dengan kombinasi antara komunikasi dengan cara siaran. Pendekatan komunikasi suara yang digandingkan dengan teknologi bersertakan visual kini amat digemari oleh khalayak pengguna. Jika mempunyai gambar tanpa suara, maka penyampaian tidak akan sampai kepada pendengar secara menyeluruh.\nHal ini berbeza apabila ada suara tanpa gambar, penyampaian informasi tetap akan sampai walaupun ada keterbatasan. Kekal kreatif dengan pelbagai pengisian yang dihidangkan kepada pendengar, radio sebagai medium komunikasi yang sangat diperlukan dan relevan sampai bila-bila, kata beliau di Bernama Radio.\nSelain daripada radio, media sosial merupakan kaedah yang paling digemari oleh pengguna untuk berinteraksi dalam kepesatan komunikasi sohor kini. Penggunaan media sosial pada dekad kini dilihat menjadi satu keperluan dalam kalangan anggota masyarakat, malah mereka yang tiada akaun media sosial pula dianggap \u201cketinggalan\u201d dan tidak selari dengan perkembangan dunia semasa. Hal ini dikatakan demikian hampir semua maklumat mahupun aktiviti dan perkembangan dunia boleh didapati daripada mana-mana aplikasi dalam media sosial.\nMenurut Laporan Digital 2021, setakat Januari tahun ini, pengguna aktif media sosial di Malaysia sahaja yang mencecah 28 juta, iaitu 86 peratus daripada populasi keseluruhan negara. Di sebalik angka tersebut, satu signifikan yang jelas dapat dirungkaikan, iaitu betapa pentingnya media sosial kepada setiap individu.\nNamun begitu, adakah media sosial digunakan dengan baik dan berfaedah? Banyak lagi rentetan persoalan yang timbul apabila membicarakan mengenai media sosial. Kehadiran ratusan jenis aplikasi media sosial sudah menenggelamkan media tradisional di arus perdana dan kemudian memaksa mereka mengejar dengan pantas untuk menyesuaikan diri dan berasimilasi dengan ciri-ciri yang ditawarkan di media sosial. Anak-anak telah pun didedahkan semenjak kecil lagi dengan peralatan komunikasi, seperti telefon pintar dan seterusnya mengheret serta terkait kepada pelbagai permasalahan lain.\nAkaun media sosial kini menjadi satu daripada bentuk harta intelek yang bernilai, maka tidak hairanlah pemilik akaun media sosial bersungguh-sungguh menaikkan jumlah pengikut mereka dengan menghasilkan pelbagai kandungan untuk dimuat naik dan dikongsikan di media sosial seperti Instagram, TikTok dan Facebook. Penjualan dan pembelian pengikut di aplikasi media sosial kini berlaku di mana-mana sahaja.\nSeseorang itu dianggap berpengaruh dan mempunyai kelebihan dengan melihat jumlah pengikutnya di media sosial, seterusnya digelar sebagai pempengaruh atau dalam bahasa Inggerisnya influencer, sehingga menjadi ikon dan idola.\nMeskipun seorang pempengaruh kian melonjak naik, sekiranya kandungan pengisiannya kurang bermanfaat, sudah pasti bahana baharu akan menunggu sehingga memberikan impak dan ikutan yang kurang baik kepada masyarakat.\u00a0Satu bentuk perlumbaan di alam maya ini telah membawa kepada keghairahan sehingga ada dalam kalangan mereka hilang pertimbangan kemanusiaan dan moral demi menghasilkan kandungan yang dianggap \u201ckreatif\u201d, segera tular dan meraih populariti dengan cara pantas.\nAdakah ini satu cabang kemajuan yang sihat kepada generasi muda?\nEmpat tonggak utama yang penting dalam media sosial, iaitu agama, politik, ekonomi dan sosial turut menerima tempias daripada gelombang media sosial yang semakin melebar kini. Magnet positif dan negatif akan bertindak sebagai penarik ke kancah liganya sekiranya saluran yang digunakan terpesong daripada fungsi dan tujuan asal media sosial diperlukan.\nMaka demikian, penglibatan golongan agamawan dalam media sosial juga perlu aktif untuk menjadi wadah terbaik dalam berdakwah serta menyebarkan kebaikan kepada khalayak umum. Satu perkembangan yang cukup positif dan baik apabila banyak institusi dan rumah ibadat mula mewujudkan laman blog yang dapat menyalurkan maklumat dan membolehkan interaksi dua hala berlaku antara pihak pengurusan dengan anggota masyarakat.\nHari ini, jelas kita melihat ramai figura penting dalam setiap tonggak ini sudah mula berjinak-jinak dan bergiat aktif menggunakan media sosial bagi mendekati golongan sasaran mereka. Maklumat, aduan dan maklum balas dapat disampaikan terus tanpa perlu melalui karenah birokrasi yang memenatkan sekian lama.\nSelain itu, politikus misalnya, begitu aktif menulis dan mencambahkan buah fikiran dan pendapat mereka dalam mengkritik ataupun menyalurkan pandangan dan cadangan membina, di samping tidak kurang mereka yang dilihat mencuba meraih sokongan dan pengaruh dalam kalangan masyarakat. Apabila dunia dilanda pandemik COVID-19 dan kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yakni hampir semua rakyat \u201cterkurung\u201d di rumah dan sekali gus aplikasi media sosial menjadi medium terbaik untuk berkomunikasi dan berinteraksi sama ada dalam hubungan kekeluargaan mahupun berkaitan dengan kerjaya. Golongan pakar dalam bidang ini seharusnya terus memperkasakan penggunaan media sosial seiring dengan keperluan semasa.\nFungsi dan peranan media sosial tidak boleh disangkal dan diketepikan pada era Revolusi Perindustrian 4.0 ini kerana segala-galanya hanya di hujung jari. Terma fenomena Global Village yang diperkenalkan oleh Marshall McLuhan sememangya sebuah realiti yang jelas, terpulang kepada kita sebagai pengguna untuk memanfaatkan segala kemudahan dan kecanggihan teknologi ini ke arah memimpin sebuah Keluarga Malaysia yang bertamadun dan mengamalkan nilai, dan budaya yang sentiasa dijunjung seiring dengan ketinggian adab kita sebagai orang timur.\nPejabat Penolong Naib Canselor (Perkhidmatan, Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.\nPakar Psikologi Bahasa dan Pengarah Hal Ehwal Korporat, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia." "Dividen KWSP Mencecah Enam Peratus\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengumumkan pencapaian pada akhir bulan Februari atau awal Mac 2022 berpotensi mencapai paras 5.2 peratus hingga enam peratus.\nMenurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, pendapatan pelaburan kasar KWSP bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun 2021, meningkat sebanyak 7.7 peratus tahun ke tahun kepada RM48.02 bilion berbanding dengan tempoh sama pada tahun 2020.\nOleh itu, peluang dividen pada tahun 2021 dilihat akan lebih tinggi, sekiranya prestasi disokong oleh pendapatan korporat yang lebih baik pada suku keempat.\nBeliau juga mengulas mengenai pengeluaran khas di bawah skim i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra dana persaraan itu, \u201cPengeluaran khas ini berkemungkinan besar tidak memberikan impak yang ketara terhadap prestasi dividen tahunan\u201d.\nSelain itu , Profesor Ekonomi di i-CATS University College Kuching, Datuk Shazali Abu Mansor pula menjangkakan KWSP mengumumkan kadar dividen dalam lingkungan 5.5 peratus hingga enam peratus bagi tahun 2021 atas usaha KWSP mempelbagaikan pelaburannya ke pasaran luar negara bersama ekuiti asing.\nTambah beliau, \u201cDividen sepatutnya meningkat seiring dengan pendapatan. Oleh itu, bagi tahun 2021, kadar berkenaan seharusnya melebihi 5.2 peratus. Jika kurang daripada itu, hal ini dilihat sebagai tidak seimbang.\u201c" "Pelihara Khazanah Negara Menerusi Pendigitalan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Prasasti atau batu bersurat yang bertulisan dalam bahasa Melayu yang tertua (yang dikenali sebagai huruf Palava atau huruf runcing) berusia lebih kurang 350 Masihi atau pada abad ke-4 Masihi. Menurut YBhg. Prof. Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain, Felow Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), terdapat banyak prasasti yang berusia dalam ratusan tahun dahulu yang bertulisan Melayu pada abad ke-7 Masihi semasa kerajaan Srivijaya serta kerajaan Champa. Selain itu, prasasti dalam bahasa Minang mempunyai lebih kurang 10 buah, bertulisan Jawa dalam 40 buah, bertulisan Bali dalam ratusan buah, serta bertulisan campuran antara bahasa Melayu dengan bahasa Khmer lebih kurang 30 buah, iaitu semasa kerajaan Funan.\nTambahnya lagi, prasasti dalam bahasa Mon ialah prasasti terbaharu yang ditulis dalam rumpun Melayu, iaitu bahasa orang Asli Indocina yang sudah bertamadun sejak abad ke-5 Masihi. Semua batu bersurat ini amat sukar diperoleh. Batu bersurat yang terkenal di negara kita ialah Batu Bersurat Terengganu yang ditulis dalam tulisan Jawi dan batu bersurat di Port Dickson yang berusia 1400 tahun dahulu.\nMenurut beliau, dianggarkan bahawa terdapat lebih kurang 20 ribu manuskrip dalam tulisan Jawi, manakala dalam huruf Palava pula tidak banyak. Di Perpustakaan Negara Malaysia pula hanya terdapat lima ribu manuskrip sahaja. Oleh itu, kerajaan memainkan peranan yang besar dalam usaha memelihara prasasti dan manuskrip agar dapat dikumpulkan dan dapat dibaca oleh masyarakat di negara ini.\nBeliau berkata, langkah pertama ialah membuat imbasan terlebih dahulu terhadap manuskrip yang berada di luar negara seperti di Perancis dan Belanda dan dikumpulkan secara berperingkat. Oleh itu, dalam usaha untuk mengumpul semua prasasti ini untuk didigitkan dalam bentuk digital memerlukan peruntukan kewangan yang agak besar oleh kerajaan. Hal ini disebabkan oleh prasasti yang berjumlah lebih kurang 200 buah ini perlu dibukukan secara imbasan dan ditransliterasikan atau dirumikan.\nTambah beliau, tulisan itu juga perlu diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu yang boleh difahami oleh semua orang. Hal ini memerlukan peruntukan kewangan yang tinggi kerana kerajaan perlu melantik pakar bahasa yang mahir dalam bahasa tersebut. Selain itu, kerajaan juga boleh melatih pelajar atau generasi baharu untuk menjadi pakar bahasa dalam bidang tersebut.\nPendigitalan manuskrip lama diperlukan untuk memperoleh khazanah ilmu mulai abad ke-4 Masihi hingga 1900 Masihi. Kumpulan penyelidik sangat mengharapkan bantuan dan usaha daripada kerajaan atau para dermawan yang sudi memberikan peruntukan. Selain itu, sokongan padu juga diperlukan daripada kerajaan supaya masyarakat dalam pelbagai golongan dapat membacanya dengan lebih mudah. Usaha dan kerjasama daripada penyelidik dan masyarakat umum amat diperlukan dalam usaha mengangkat karya agung ini melalui kaedah yang mesra pembaca selain diarkibkan dengan baik.\nTujuan pengumpulan batu bersurat ini bukan sahaja untuk memudahkan penyelidikan, bahkan ada beberapa bukti yang perlu ditonjolkan kepada dunia. Sebagai contoh, prasasti yang tertua yang berusia pada abad ke-4 perlu dibanggakan oleh rakyat Malaysia apabila dapat diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan seterusnya dapat dipamerkan di Muzium Negara. Hal ini disebabkan oleh prasasti dalam bahasa Inggeris hanya ditulis pada abad ke-9, yang bermakna bahawa prasasti dalam bahasa Melayu berusia 500 tahun lebih tua daripada bahasa Inggeris. Tarikh batu bersurat itu ditulis dan dibuktikan pada batu bersurat dalam bahasa Melayu menerusi bentuk angka dan nombor.\nSekiranya batu bersurat ini dapat dihebahkan ke seluruh dunia, secara langsung dapat melonjakkan negara kita di mata dunia. Dunia boleh mengiktiraf manuskrip negara kita sama seperti manuskrip yang diiktiraf dunia dalam bahasa Melayu. Batu bersurat ini tidak mustahil dapat dijadikan sebagai suatu karya besar tamadun manusia yang diiktiraf dunia.\nSelain itu, beliau juga mengharapkan sokongan daripada kerajaan untuk mendapatkan manuskrip dari Aceh yang paling mahal nilainya kerana belum berjaya diperoleh disebabkan oleh kekangan kewangan.\nDemikianlah antara perkongsian menarik daripada program Resolusi Bersama-sama Profesor Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain yang berjudul \u201cSains dalam Bahasa Melayu pada Abad Ke-20 (Peranan Kerajaan), yang bersiaran secara langsung tengah hari tadi bersama-sama Dj Yati di Radio IKIM (IKIMfm)." "Perlis Melaksanakan Ujian Saringan COVID-19 Sebelum Memasuki ke Institusi Pendidikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa ujian saringan gejala hendaklah dipergiat, terutamanya di seluruh institusi pendidikan di Perlis.\nPemantauan tahap kesihatan menerusi saringan gejala pada setiap hari di pintu masuk dapat mengurangkan kadar keberjangkitan virus dengan cara membenarkan warga sekolah yang sihat sahaja untuk hadir memasuki ke premis.\nDalam titahnya juga, baginda turut menekankan aspek penilaian risiko bagi memutuskan rantaian penularan pandemik COVID-19, selain menjaga pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.\nPenilaian risiko kepada pengajar atau guru, kakitangan dan pelajar perlu dilaksanakan secara berterusan, terutamanya yang melibatkan aktiviti berisiko dan perjalanan ke tempat berisiko.\nDemikian titah Raja Muda Perlis selepas berkenan berangkat menyempurnakan perasmian bengkel motorsikal yang diusahakan oleh Mohd. Irwan Shah Muslim di Kampung Binjai Utan Aji sempena program MAIPs Peduli bilangan ke-13 bagi tahun 2022 pada petang semalam.\nMohd. Irwan, menerima peruntukan sumbangan projek peningkatan sosioekonomi asnaf daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) berupa bantuan modal pusingan bernilai RM5000 pada tahun 2020.\nBaru-baru ini juga disumbangkan satu unit pemampat (compressor) oleh MAIPs untuk membantu mengembangkan lagi perniagaannya.\nDalam usaha itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Sirajuddin Hashim turut menyarankan ibu bapa yang belum mendaftarkan anak-anak mereka (lingkungan usia lima hingga 12 tahun ke bawah) agar cakna dengan situasi semasa ini untuk mengambil vaksin.\nSegeralah mendaftar anak-anak untuk menerima vaksin COVID-19 demi kebaikan dan kesejahteraan bersama.\nTerdahulu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan berangkat menyantuni dan menyampaikan agihan zakat MAIPs kepada Baharum Saad 89 tahun, Ahmad Othman 79 tahun dan Abu Bakar Hussin 72 tahun di rumah mereka, masing-masing. Kesemuanya tinggal bersama-sama keluarga dan tiada pendapatan atas faktor kesihatan." "KPM Bakal Melancarkan Sekolahku Sejahtera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dr. Nor Hisham Ismail, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), tampil menerusi Slot Selamat Pagi Malaysia pada hari ini untuk mempromosikan Pelancaran Sekolahku Sejahtera.\nPelancaran tersebut akan diadakan pada 21 Februari 2022 (Isnin) bermula pada pukul 9.00 pagi bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) oleh YB Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin, Menteri Kanan Pendidikan Malaysia dan akan disiarkan secara langsung melalui Facebook KPM.\nKonsep yang diinspirasikan oleh YB Menteri Kanan Pendidikan ini bertujuan untuk meningkatkan aspek keselamatan dan kesejahteraan kepada seluruh warga sekolah. Dalam perbincangan tersebut, Dr. Nor Hisham turut berkongsi tentang keprihatinan YB Menteri Kanan Pendidikan dan seluruh Pengurusan KPM bagi mewujudkan amalan dan nilai-nilai murni yang akan diterapkan kepada warga pendidikan dan anggota masyarakat yang terlibat secara langsung supaya dapat bersama-sama mendukung aspirasi KPM melalui program yang bakal dilancarkan itu bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat dan sejahtera.\nPelbagai isu yang timbul berkaitan dengan aspek keselamatan dan kesejahteraan di sekolah telah diberikan perhatian oleh YB Menteri Kanan dan program ini diharap akan dapat meningkat kesedaran serta sifat bertanggungjawab dalam kalangan guru, pelajar, ibu bapa serta komuniti untuk memastikan sekolah menjadi institusi yang selamat dan bebas daripada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.\nMasyarakat seharusnya menyedari suasana \u00a0mencabar dalam dunia pendidikan pada hari ini yang memerlukan komitmen semua pihak bagi mewujudkan institusi pendidikan yang cemerlang.\nMenurut Dr. Nor Hisham juga, YB Menteri Kanan sentiasa memperuntukkan waktunya berkaitan dengan libat urus pendidikan di seluruh negara dan mendengar terus isu-isu berkaitan dengan pendidikan yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh KPM.\nOleh hal yang demikian, usaha atau inisiatif yang bakal dilaksanakan oleh KPM ini dapat mempertingkatkan aspek keselamatan dan kesejahteraan kepada seluruh institusi di bawah KPM. Pelancaran ini kelak turut dihadiri oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, warga KPM, pelajar, persatuan guru, persatuan ibu bapa dan komuniti." "Krung Thep Maha Nakhon, Nama Baharu Ibu Negara Thailand\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSebelum ini, negara Indonesia yang menukar nama ibu negaranya.\nKini, giliran negara Thailand pula menukar nama rasmi ibu negaranya yang dikenali sebagai Krung Thep Maha Nakhon.\nTindakan itu disebabkan susulan kabinet Thailand yang meluluskan draf berhubung dengan pertukaran nama ibu kota Bangkok untuk penggunaan rasmi.\nMenurut Pejabat Penaung Diraja (ORST), pengenalan nama rasmi itu hanya akan dikuatkuasakan setelah semakan oleh Jawatankuasa Perundangan dan Kementerian Luar Negeri.\nHal ini dikatakan demikian bertujuan untuk mencapai kesepakatan dalam penukaran nama ibu negara itu.\nKabinet juga akan meminta panel jawatankuasa untuk mempertimbangkan pemerhatian lanjutan daripada Kementerian Luar Negeri.\nNamun begitu, walaupun nama rasmi ibu kota kerajaan Thailand ditukar, nama Bangkok yang digunakan sejak November 2001 tetap akan dipahatkan dalam kurungan.\n(Sumber video: Onenews)" "COVID-19: Kes Harian Tidak Diumumkan Bermula Esok\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaludin mengumumkan kini tiada lagi pemakluman jumlah kes harian COVID-19 secara berasingan.\nPengiraan kes harian hanya dikeluarkan bersama data-data lain pada keesokan hari pukul 10.00 pagi.\n\u201cHal ini adalah supaya kita dapat mengetahui bilangan kes harian secara keseluruhan diikuti dengan data lain, seperti kemasukan ke hospital, kematian harian, pecahan pesakit COVID-19 mengikut kategori dan sebagainya,\u201d ujar YB Menteri Kesihatan.\nTambah beliau dalam sidang media petang tadi, inisiatif ini dilaksanakan bagi mengurangkan \u201cfaktor ketakutan\u201d (fear factor), berikutan peningkatan kes yang agak ketara sehingga menimbulkan kebimbangan kepada seluruh rakyat.\nPerubahan ini dimaklumkan akan berkuat kuasa pada Jumaat (18 Februari 2022).\n\u201cKita seharusnya melihat (kes harian) berdasarkan perincian metrik bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang situasi sebenar, bukannya melihat 20 000 atau 30 000 kes pada setiap hari,\u201d kata YB Khairy dalam sidang media petang tadi.\nMengulas lebih lanjut, Khairy berkata,\u00a0kaedah menyediakan kemas kini harian COVID-19 ini hakikatnya perkara biasa di negara lain.\n\u201cMisalnya Singapura, mengumumkan bilangan kes mereka pada tengah malam,\u201d katanya.\nTurut hadir bersama-sama dalam sidang media ini ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr.\u00a0Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),\u00a0Dr.\u00a0Roshayati Mohd.\u00a0Sani." "Perniagaan Bukan Pilihan Kerjaya Terakhir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMelihat keadaan sekarang, ramai graduan terjejas teruk dan kebanyakannya terpaksa mengambil jalan dengan memulakan perniagaan demi sesuap nasi. Sama ada menjadikan perniagaan sebagai pilihan terakhir sebagai sumber pendapatan, sekadar minat atau menjadikan perniagaan sebagai kerjaya, yang penting untuk menetapkan hala tuju sebelum memilih perniagaan sebagai satu bidang kerjaya.\nMendepani fasa endemik, graduan perlu memastikan perancangan kewangan lebih realistik dan bermakna. \nHal ini demikian kerana cabaran yang besar dihadapi oleh graduan adalah menguruskan kewangan. Cabaran dan ketidakpastian masa ini menuntut untuk memikir semula, memulih dan membuat penambahbaikan berterusan dalam mengurus kewangan.\nMemahami kesukaran bagi mereka yang terjejas dan berhasrat memulakan perniagaan khususnya melalui platform digital, hakikatnya platform ini dapat mendorong graduan untuk menjadi lebih proaktif dalam mencari peluang yang membolehkan lebih ramai golongan muda berupaya mencipta produk berinovasi dan bekerja sendiri.\nAntara platform yang signifikan untuk menjana pendapatan, termasuklah memiliki kemudahan Internet dan mempergiat perniagaan dalam talian, khususnya kepada graduan yang ingin menjana pendapatan sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa.\nMeskipun mempunyai pelbagai pilihan untuk berjaya, kajian mendapati bahawa kebanyakan graduan kini tidak tahan dengan cabaran, bahkan cepat mengalah dan tidak mampu bertahan dalam tempoh yang panjang. Bagi mendukung kelestarian agenda keusahawanan, Pelan Tindakan Keusahawanan IPT (PTK IPT) 2021\u00e2\u20ac\u201c2025 dan MoHE Guide to Entrepreneurship Integrated Education (EIE) telah dilaksanakan. Majlis Keusahawanan Pendidikan Tinggi Nasional (MKPTN) turut diaktifkan semula dengan pelantikan seramai 30 orang ahli baharu.\nSementara itu, MoHE-Shopee: Siswa Mall telah dilancarkan pada 25 November 2021 lalu untuk membantu meningkatkan kemahiran dan mengembangkan perniagaan mahasiswa. Program ini juga dapat memanfaatkan seramai 5000 graduan. Kerajaan, melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga menawarkan pendaftaran syarikat secara percuma kepada graduan bagi menggalakkan mereka menceburi bidang keusahawanan dan perniagaan. Semasa dalam pengajian, misalnya UiTM telah menyediakan dana sebagai galakan kepada pelajar untuk memulakan perniagaan, pinjaman hingga RM3000 dari Tabung Keusahawanan Siswa.\nDalam perkembangan era digital ini, keseimbangan antara kemahiran teori dengan praktikal adalah elemen yang sangat penting untuk dibina dan diperkukuhkan.\n\nAntara aspek yang perlu ditekankan, termasuklah graduan berupaya dalam komunikasi, berkemampuan menyelesaikan masalah, serta berfikiran kreatif dan inovatif.\nSecara tuntasnya, mendepani situasi semasa, strategi pekerjaan perlu bersesuaian dengan peredaran semasa. Graduan perlu bersifat kreatif dalam mencipta pekerjaan atau perniagaan, di samping mendapat pendedahan dan bimbingan secara menyeluruh sebelum tamatnya pengajian supaya bersiap siaga menghadapi cabaran dan risiko pada masa akan datang.\nPendedahan pengetahuan dalam perniagaan menjadikan pelajar lebih kreatif dan inovatif dalam usaha mencipta pekerjaan. Graduan tidak seharusnya tergesa-gesa mencari pekerjaan, sebaliknya mencari dan menjadi pencipta kepada peluang pekerjaan.\n\nIntan Syazlina Mohd. Ali, Penolong Pendaftar Kanan Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), UiTM Shah Alam." "Antara Hak Asasi Manusia dengan Kedaulatan Undang-undang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHak asasi manusia membawa maksud kebebasan yang layak bagi setiap insan sebagai seorang manusia. Hak-hak tersebut menjamin maruah dan harga diri serta menggalakkan kebaikan insan. Hak asasi manusia berbentuk sejagat, tidak boleh dipisahkan dan saling bergantung antara satu sama lain. \nAsas bagi setiap hak asasi manusia ialah kefahaman bahawa setiap manusia mempunyai maruah dan harga diri. \nPertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mendokumenkan hak asasi manusia yang patut dimiliki oleh setiap manusia dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) untuk memastikan maruah dan harga diri manusia dihormati dan dilindungi.\nHak asasi begitu sinonim dengan proses demokrasi kerana merupakan suatu perkara terpenting dalam sistem pemerintahan sedemikian. Negara demokrasi amat mementingkan hak dan kebebasan setiap manusia. Dalam aspek ketamadunan manusia, banyak undang-undang yang terbukti membela hak asasi manusia demi kemakmuran dan kestabilan sesebuah negara.\nAntara undang-undang awal yang membela hak asasi manusia ialah Undang-undang Justinian ketika zaman pemerintahan Maharaja Justinian di Rom. Antara prinsip perundangan Rom yang diamalkan termasuklah semua manusia adalah sama di sisi undang-undang, seseorang yang didakwa bersalah dianggap tidak bersalah sehingga terbukti dia bersalah, menghormati hak individu untuk mendapatkan perbicaraan yang adil serta hukuman yang dijatuhkan oleh hakim haruslah berdasarkan bukti yang cukup dan sahih.\nHak asasi ini kemudiannya berkembang selari dengan kemajuan masyarakat dunia seperti yang dilihat pada hari ini. Walau bagaimanapun, hak asasi ini dipergunakan dengan sewenang-wenangnya mengikut tafsiran sendiri bahawa tiada undang-undang yang boleh mengatasi hak asasi manusia. Perkara ini didapati meleset sama sekali dengan pemaknaan hak asasi manusia. Seseorang individu tidak boleh sama sekali melanggar hak asasi masyarakat, sebagai unit yang lebih besar daripada individu.\nKetidakpatuhan awam atau membangkang aspek sivil dianggap sebagai kaedah penentangan individu atau sekelompok individu kepada undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan atau pihak yang berautoriti. Sebagai sebuah kerajaan dan badan yang berautoriti dalam sesebuah negara, mereka bertanggungjawab sepenuhnya bagi mendaulatkan undang-undang dan keselamatan umum, berbanding dengan melindungi kepentingan hak segelintir individu semata-mata.\nTanggungjawab kolektif sesebuah negara itu perlu berdiri atas kedaulatan undang-undang sebagai set pengikat terhadap tindakan dan moral masyarakat di sesebuah negara dan telah terpateri kukuh sebagai satu daripada pasak Rukun Negara.\nKetidakpatuhan awam terhadap undang-undang dan usaha kerajaan menangani krisis merupakan suatu perkara yang tidak seharusnya berlaku di mana-mana negara sekalipun.\nHal ini akan menjadikan sesebuah krisis itu bertambah buruk sehingga boleh menyebabkan kemusnahan fatal bagi sesebuah negara. Sebagai sebuah negara demokrasi, Malaysia perlu berhati-hati dalam menangani ketidakpatuhan awam kerana sekiranya tersilap langkah maka akan mewujudkan gelombang penentangan massa yang mungkin menganggap kerajaan telah melanggar hak asas individu.\nBenar, kerajaan mempunyai autoriti dalam menjalankan pentadbiran dan menguatkuasakan undang-undang, namun jika berlakunya pendekatan yang agak keras seperti mana-mana negara autoritarian hal tersebut disifatkan sebagai melanggar tradisi dan sosiobudaya masyarakat di negara ini.\nWalau apa-apa juga hujah sekalipun, aspek undang-undang perlu sentiasa mengatasi hak individu dan mengutamakan hak masyarakat." "KPM Mahu Sekolah Menengah Dikurangkan Menjadi Pusat Pengundian PRN Johor\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPUTRAJAYA \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan sebanyak 151 buah sekolah menengah di Johor akan digunakan sebagai pusat pengundian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan berlangsung pada 12 Mac ini.\n\u201cKPM sudah berbincang dengan SPR agar tidak menggunakan sekolah menengah sebagai pusat pengundian PRN Johor kerana bimbang akan mengganggu persediaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021,\u201d kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Yayasan Didik Negara pada hari ini.\nMenurut Datuk Dr. Radzi Jidin, KPM sedar bahawa SPR mempunyai pelbagai kekangan dalam melaksanakan PRN Johor. Walau bagaimanapun, KPM memohon kerjasama SPR untuk mempertimbangkan penggunaan sekolah menengah sebagai pusat pengundian dalam kadar yang paling minimum dan turut melibatkan penggunaan sekolah rendah kerana sebarang gangguan kepada persiapan peperiksaan SPM di sekolah menengah akan memberi implikasi besar kepada kelancaran proses SPM di negeri berkenaan.\nDatuk Dr. Radzi Jidin berkata, KPM turut memohon kepada SPR supaya para guru yang terlibat bertugas sebagai pengawas peperiksaan, petugas peperiksaan atau pemeriksa kertas jawapan SPM dikecualikan menjadi petugas PRN Johor supaya mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap peperiksaan SPM.\n\u201cSehubungan dengan itu, guru-guru yang terlibat dalam proses peperiksaan SPM perlu memaklumkan kepada wakil SPR di kawasan masing-masing untuk mendapatkan pengecualian sebagai petugas SPR. Sekiranya tiada pengganti, maka guru-guru ini perlu melaporkan kepada wakil SPR,\u201c ujar Datuk Dr. Radzi Jidin.\nTambah Datuk Dr. Radzi Jidin lagi, calon SPM yang positif COVID-19 sebelum menduduki peperiksaan SPM perlu menjalani kuarantin kendiri dan tidak perlu menduduki peperiksaan SPM pada tarikh yang ditetapkan. Sebaliknya mereka akan menduduki peperiksaan SPM pada sidang berikutnya dan tarikh peperiksaan yang baru akan dimaklumkan kelak.\n\u201cBagi calon yang sedang menduduki peperiksaan SPM dan pihak sekolah baru mendapat maklumat bahawa pelajar tersebut positif COVID-19, maka calon itu akan diletakkan di dalam sebuah bilik khas yang disediakan di sekolah berkenaan. Manakala calon yang menjadi kontak rapat pula, sekiranya perlu menjalani kuarantin, maka pelajar tersebut tidak perlu hadir ke tempat peperiksaan. Walau bagaimanapun, pelajar yang menjadi kontak rapat ini perlulah menunjukkan pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),\u201c jelas Datuk Dr. Radzi Jidin." "Yayasan Didik Negara Dilancarkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPUTRAJAYA \u2013 Yayasan Didik Negara (YDN) yang ditubuhkan pada Julai 2021 kini sudah berjaya mengumpul sumbangan yang berjumlah RM20 juta. Kejayaan tersebut diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin pada majlis pelancaran yayasan berkenaan di Auditorium Kompleks E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya petang tadi.\nMenurut Datuk Dr. Radzi Jidin, sumbangan yang diterima juga dalam pelbagai bentuk seperti wang tunai dan juga barangan lain termasuklah gajet serta barangan keperluan persekolahan seperti komputer riba dan beg sekolah.\nMenurut Datuk Dr. Radzi Jidin, YDN ditubuhkan sebagai organisasi yang mempunyai urus tadbir yang teratur dan sistematik. Selain itu, YDN turut berperanan sebagai badan rasmi yang bertanggungjawab untuk menggembleng kerjasama dan komitmen bersama-sama pelbagai lapisan masyarakat untuk menyalurkan sumbangan ke arah melestarikan pendidikan berkualiti.\n\u201cYDN juga bertindak sebagai pusat sehenti (one-stop center) bagi sebarang program kebajikan yang diusahakan bersama-sama agensi dan badan kerajaan, syarikat swasta dan golongan individu,\u201d ujar Datuk Dr. Radzi Jidin.\nTiga objektif YDN:\nSehubungan itu, Datuk Dr. Radzi Jidin yang juga merupakan Pengasas dan Penaung YDN menyeru dan mengajak seluruh Keluarga Malaysia termasuklah warga korporat untuk bersatu tenaga dan menyumbang menerusi YDN bagi memastikan taraf pendidikan negara dapat dilonjakkan ke peringkat yang lebih tinggi.\n\u201cSumbangan ini terbuka kepada orang awam juga kerana tanggungjawab pendidikan merupakan tanggungjawab semua. Manakala setiap bantuan sumbangan yang disalurkan kepada YDN akan diagihkan kepada para pelajar yang terjejas secara lebih teratur dan sistematik,\u201d jelas Datuk Dr. Radzi Jidin.\nAntara syarikat dan badan korporat yang memberi sumbangan kepada YDN termasuklah Bank Muamalat, Percetakan Nasional, Wysen, Takaful Malaysia, FGV Holding Berhad, Etiqa Family Takaful, Farm Fresh, EKUINAS, Pharmaniaga, Ronald McDonald House Charities, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Malaysian Rubber Council dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS)." "PENJANA KPT-CAP Jana Kebolehpasaran Graduan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMenurut penelitian Lily Yulyadi Arnakim dan Siti Mariam Mat (2021), menerusi pemberdayaan kerjasama pendidikan antara negara anggota, ASEAN dilihat cakna akan fokusnya dalam melahirkan warga yang celik pengetahuan dan meluaskan pasaran sektor ekonomi\u00a0melalui pelbagai peluang yang disediakan. Pemberdayaan ini diteraju oleh Southeast Asian Ministers Of Educatian Organization (SEAMEO) bagi pembangunan bangsa untuk melahirkan kehidupan yang lebih baik, pendidikan, kesihatan, budaya, tradisi, teknologi maklumat dan komunikasi, bahasa, pembasmian kemiskinan, pertanian dan sumber asli.\nSudah pasti, perkembangan pesat yang berlaku dalam agenda memperkukuhkan sektor ekonomi diberikan perhatian oleh pengurusan universiti dengan memberikan pendedahan dan amali kepada mahasiswa sebagai pemain sektor ini. Satu daripada program khusus yang dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan ialah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau lebih dikenali\u00a0sebagai\u00a0PENJANA, yakni\u00a0antara inisiatif rangsangan untuk menangani situasi ekonomi dan meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat.\nMendepani cabaran ini, The Chartered Institute Logistics and Transport (CILT) Malaysia, iaitu sebuah badan profesional dalam bidang pengangkutan dan logistik telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun 2021 bagi menangani isu kebolehpasaran graduan dan mengurangkan pengangguran akibat wabak COVID-19. CILTM komited bekerjasama dalam Program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) \u2013 Career Advancement Programme\u00a0(CAP) mengkhususkan\u00a0bidang logistik dan pengangkutan.\nMenurut Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdulah, Presiden CILTM, mahasiswa perlu mempunyai \u00a0pemikiran di luar kotak dan dan sentiasa berdaya saing. Musim pandemik ini CILTM sebagai badan profesional turut menawarkan kursus dan kemahiran dalam bidang logistik dan pengangkutan yang sudah tentu relevan sebagai instrumen ekonomi. Selain itu, CILTM akan sentiasa bekerjasama dengan pihak universiti dan industri untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan.\nKementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga mengambil inisiatif menggerakkan pelan ini melalui program utama di bawah peruntukan PENJANA, iaitu Pemadanan Kerja dan Penempatan (Job Matching and Placement) \u00a0yang dirancang untuk meningkatkan kemahiran dan penempatan kerja kepada peserta berdasarkan keperluan industri. Penjana KPT-CAP atau Program Kemajuan Karier, Kursus Advanced Enterprise Data Practioner\u00a0(AEDA) atau Pengamal Data Perusahaan Lanjutan dan Aeda Analytic Skills / Business Analytics\u00a0atau Kemahiran Analisis atau Analisis Perniagaan telah dianjurkan bersama-sama dengan\u00a0Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), KPT, dan CADS\u00a0yang memulakan latihan mulai bulan Februari yang melibatkan penyertaan graduan daripada seluruh IPT.\nProgram ini dirasmikan secara maya oleh Prof. Ts. Dr. Muhd. Zu Azhan Yahya, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPNM. Menurut beliau, UPNM sentiasa berusaha dengan \u00a0pelbagai inisiatif dengan merangka pelbagai program dan latihan yang menjurus kepada pembangunan dan penempatan kerjaya dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan kadar kebolehpasaran graduan universiti.\nMenurut Sharizan Samad, Pengarah Pusat Kaunseling, Kerjaya dan Alumni UPNM, program\u00a0UPNM berjaya mendapatkan kelulusan KPT dalam melaksanakan program latihan dan penempatan kerjaya kepada graduan UPNM dan Institut Pendidikan Tinggi (IPT). \u00a0Objektif program ini memberikan peluang dan latihan kepada graduan,\u00a0khususnya dalam meningkatkan kemahiran graduan mahasiswa dan dalam waktu yang sama memberikan peluang penempatan kerjaya kepada graduan.\n\nAntara peserta yang berjaya melalui program ini ialah Alia Mohd. Zaki dan Nurul Atiqah Rohaizar yang berkongsi pengalaman dan kegembiraan mereka meraih pengetahuan yang amat berguna daripada program yang dilaksanakan ini dan telah melayakkan mereka melebarkan bakat dan kepakaran dalam bidang masing-masing di firma antarabangsa.\nUPNM akan terus berusaha dengan pelbagai idea, perancangan dan inisiatif dalam usaha bersama meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam waktu yang sama untuk mengekalkan kadar peratusan graduan UPNM. Kerjasama pihak Centre of Applied Data Science (CADS) sebagai rakan strategik industri dengan pihak UPNM, adalah satu permulaan yang baik dalam merangka pelbagai lagi usaha dalam membantu mahasiswa graduan agar lebih cerdas dalam dunia pasaran kerjaya serta memahami pasang surut ekonomi.\nProf. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Pakar Psikologi Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Felow Kluster Wanita dan Masyarakat Majlis Profesor Negara.\nRabi\u2019ahtuladawyah Md. Saleh, Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka." "204 Peserta Sertai Kejohanan Sirkit Woodball Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u2013 Sebanyak 204 orang daripada 17 buah kelab dan persatuan woodball menyertai Kejohanan Sirkit Woodball Kebangsaan kali ke-16 anjuran Persatuan Woodball Malaysia (MWA) yang diadakan di Laman Woodball Taman Metropolitan Batu, Kuala Lumpur bermula pada 17 Februari 2022 hingga hari ini.\nKontinjen Perlis yang membariskan 88 orang peserta, sekali gus tersenarai antara negeri yang menghantar jumlah penyertaan yang banyak untuk mewakili pasukan kebangsaan dalam banyak kategori yang dipertandingkan.\n\u201cKontinjen Perlis dianggotai pemain Woodball dari Persatuan Woodball Negeri Perlis sendiri, seterusnya Universiti Malaysia Perlis (Universiti Malaysia Perlis UniMAP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis, Rekreasi Pejabat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Raja Perlis (PERALIS), Kelab Titan Perlis dan Kelab Sukan Rekreasi & Kebajikan (KESUREK) Hospital Tuanku Fauziah (HTF).\u201d\nDemikianlah titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, merangkap Penaung DiRaja Persatuan Woodball Negeri Perlis yang berkenan meluangkan masa berangkat memberikan sokongan moral kepada kontinjen \u201cPerlis Woodpeckers\u201d pada petang semalam.\nSelain itu, baginda turut mengingatkan semua atlet Perlis supaya memberikan komitmen yang terbaik untuk mengharumkan nama negeri, menjaga disiplin dan pada masa yang sama mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan oleh penganjur.\nKeberangkatan tiba Tuanku Raja Muda disambut oleh Presiden Persatuan Woodball Malaysia, Elaine Tan dan Ruhisha Haris yang bertindak selaku Chef De Mission kontinjen Perlis.\nSementara itu, negeri lain juga turut menghantar kontinjen bagi menyertai kejohanan ini, antaranya termasuklah Terengganu (48 peserta), Perak (8 peserta), Pulau Pinang (8 peserta) dan Selangor/Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya (60 peserta).\nKejohanan ini dilaksanakan secara liga dengan kiraan mata tertinggi dan akan melibatkan pemain yang bermain di tiga buah lokasi, iaitu Kuala Lumpur pada kali ini, Terengganu pada bulan Jun atau Julai dan siri penutup tirai di Perlis sama ada pada bulan Oktober atau November yang akan datang." "Amalan Komuniti Praktis Atasi Kerancuan Bahasa Penyampai Radio\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMutakhir ini, kerancuan bahasa dilihat semakin kerap berlaku dan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pejuang bahasa Melayu. Menurut Siti Haliza Yusop dalam artikelnya, \u201cBahasa Rojak Melekat di Bibir Penyiar Radio\u201d, bahasa rojak ialah suatu bentuk gejala linguistik bahasa Melayu yang termasuk dalam kerancuan bahasa.\nAzura Halid dalam artikelnya,\u201cKerancuan Penggunaan Bahasa di Radio\u201d juga berpendapat bahawa penggunaan bahasa rojak ini seolah-olah suatu lesen besar kepada penyampai radio untuk meningkatkan kadar populariti. Sebilangan penyampai radio swasta kini dikatakan tidak mempunyai disiplin berbahasa sehingga menjadikan penggunaan bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris sebagai suatu trend dan kebiasaan.\nDalam kertas kerja \u201cBahasa Melayu di Media: Analisis dari Sudut\u00a0 Morfologi\u201d, Suzanti Abd. Aziz pula mendapati bahawa kesalahan percampuran kod dari aspek mofologi adalah antara kesalahan tertinggi yang dilakukan oleh penyampai radio awam dan penyampai radio swasta pada lima minit siaran pertama. Hal ini jelas menunjukkan bahawa gejala kerancuan bahasa benar-benar berlaku dalam kalangan penyampai radio. Gejala ini perlu diberikan perhatian yang serius agar gejala ini dapat dibendung.\nWalaupun buku Garis Panduan Penggunaan Bahasa Melayu dalam Media Massa telah pun diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak pada tahun 2013, gejala kerancuan bahasa tetap berlaku dalam kalangan penyampai radio.\nSekiranya program radio dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu, atau menggunakan bahasa Melayu tidak rasmi supaya suasana menjadi lebih santai, isu kerancuan bahasa ini tidak akan timbul. Namun begitu, realiti yang berlaku ialah penggunaan bahasa yang bercampur aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris.\nBukan itu sahaja, penyampai radio turut menggunakan bahasa Melayu bertaraf rendah, seperti korang, mende, ko, lantak dan ilek lok. Keadaan ini diburukkan lagi dengan penggunaan kata ganti nama bagi pembesar dan pemimpin negara yang tidak tepat dan penggunaan bahasa Melayu yang tidak sopan serta tidak bermoral.\nOleh sebab itu, bagi memastikan bahasa Melayu digunakan secara betul dan bermoral di radio, suatu mekanisme terbaik diperlukan untuk membantu penyampai radio memantapkan penggunaan bahasa Melayu di radio. Sehubungan dengan itu, komuniti praktis dilihat sebagai mekanisme terbaik kerana membolehkan penyampai radio berinteraksi, bekerjasama dan belajar bersama-sama bagi membina dan mengembangkan pengetahuan yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan bermoral.\nMenerusi amalan ini, penggunaan bahasa Melayu di radio dapat dimantapkan secara berperingkat. Lama-kelamaan, pembudayaan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan bermoral di stesen radio dapat berlaku secara tekal, khususnya dalam program yang bersifat formal dan separa formal.\nSecara amnya, terdapat model asas bagi komuniti praktis, iaitu model yang diperkenalkan oleh Wenger pada tahun 1998. Model ini diperkenalkan dalam makalahnya, \u201cKnowledge Management as a Doughnut: Shaping Your Knowledge Strategy through Communities of Practice\u201d. Menurut Wenger, komuniti praktis merujuk sekumpulan individu yang berkongsi keprihatinan atau minat yang sama dalam sesuatu bidang dan melakukannya dengan cara terbaik secara bekerjasama dan berkala, khususnya dalam usaha untuk mengatasi masalah yang berlaku berulang-ulang dalam komuniti.\nIstilah \u201ckomuniti\u201d pula merujuk perkumpulan individu dalam bidang ilmu atau pekerjaan yang sama, mempunyai kualiti hubungan yang baik antara ahli dan mengetahui matlamat penubuhan komuniti tersebut. Bagi kumpulan individu yang ingin membentuk sesebuah komuniti praktis, anggotanya mesti berkumpul bersama-sama dengan idea atau topik yang menarik dan saling berinteraksi untuk belajar bersama-sama.\nIstilah \u201cpraktis\u201d pula merujuk kerangka pengetahuan, kaedah, alat, cerita, kes, dokumen dan sebagainya yang dikongsi dan dikembangkan bersama-sama ahli untuk mengatasi masalah yang berlaku berulang-ulang dalam domain atau bidang pengetahuan ahli.\nMenerusi buku Cultivating Communities of Practice: A Guide to Managing Knowledge, Wenger dan rakan-rakannya telah menggariskan tujuh prinsip untuk membudayakan amalan komuniti praktis. Pertama, merancang perkembangan komuniti. Kedua, mengadakan sesi dialog untuk meneroka perspektif dari dalaman dan luaran komuniti. Ketiga, memastikan penyertaan ahli yang terdiri daripada pelbagai tahap, seperti ahli baharu, ahli lama dan koordinator. Keempat, membina ruang interaksi yang bersifat umum dan peribadi dalam komuniti. Kelima, memberikan penekanan terhadap nilai. Keenam, menggabungkan elemen keakraban dengan kegembiraan dalam komuniti. Ketujuh, menetapkan rutin untuk komuniti.\nSehubungan dengan itu, penyampai radio bolehlah merangka komuniti praktis masing-masing berpandukan prinsip komuniti praktis tersebut, selain mengambil kira beberapa panduan seperti yang telah dicadangkan oleh Marco Antonio de Carvalho-Filho dan rakan-rakannya dalam makalah \u201cTwelve Tips for Implementing a Community of Practice for Faculty Development\u201d.\nAntara panduan tersebut termasuklah pembentukan kumpulan utama. Kumpulan utama ini perlu terdiri daripada ahli yang berpengetahuan dan berpengalaman dalam bidang penyiaran. Setelah membentuk kumpulan utama, ahli komuniti perlu menetapkan matlamat, objektif dan isu yang ingin difokuskan. Dalam hal ini, isu yang menjadi tumpuan ialah cara memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dalam program yang bersifat rasmi dan membendung penggunaan bahasa rojak dan bahasa Melayu bertaraf rendah dalam program bukan formal. Penetapan perkara ini amat penting supaya setiap ahli komuniti dapat mengetahui dengan jelas hasil yang perlu dicapai.\nAhli komuniti juga boleh memulakan aktiviti dengan sesuatu tugasan khusus. Tugasan tersebut harus berorientasikan penyelesaian masalah. Selain itu, ahli komuniti perlu berusaha untuk mendapatkan sokongan daripada majikan atau institusi yang mempunyai hubung kait dengan komuniti praktis yang ditubuhkan. Antaranya termasuklah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Penyiaran Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka.\nSokongan tersebut boleh berbentuk peruntukan geran atau wang tunai, prasarana, seperti tempat berhimpun, internet, bantuan teknikal, dan ganjaran kepada ahli yang sentiasa melibatkan diri secara aktif dalam program yang dianjurkan oleh pihak komuniti.\nDi samping itu, Marco Antonio de Carvalho-Filho dan rakan-rakan juga mencadangkan agar pelaksanaan komuniti praktis dijalankan secara dalam talian. Menerusi kaedah ini juga, interaksi secara santai dapat dilakukan pada bila-bila masa, seterusnya dapat meningkatkan semangat kekitaan dan persefahaman dalam kalangan ahli komuniti." "Bantuan COVID-19 Menyuntik Semangat Penggiat Seni Kembali Aktif\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u2013 Yang Amat Mulia (YAM) Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, iaitu anakanda sulung Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menerima undangan bagi merasmikan \u201cMini Konsert Bunga-Bunga Cinta Misha Omar\u201d, bersempena dengan majlis Charity and Fundraising Gala Black Tie Dinner.\nKonsert amal yang dianjurkan oleh The H Entertainments Sdn. Bhd. itu diadakan di Grand Ballroom, Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur bertujuan untuk membantu golongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19, terutamanya mereka yang berada dalam industri seni.\nDalam majlis ini, Misha berkata, \u201cPerjalanan ialah satu keadaan yang akan ada masanya berjalan dengan pantas, tetapi pada masa lain bergerak agak perlahan.\u201d\n\u201cSeperti yang kita semua tahu, beberapa tahun kebelakangan ini tidak begitu baik, terutama untuk rakan-rakan kita dalam dunia hiburan, yang tidak dapat bekerja seperti biasa kerana sekatan dan sebagainya.\nTambah beliau, \u201cSaya sangat berharap agar sektor korporat akan datang dapat menyokong dan mengumpulkan dana bagi membantu mereka yang memerlukan.\u201d\nKetibaan YAM Puteri Sharifah Khatreena disambut oleh pihak penganjur, iaitu Pengarah Urusan The H Entertainments Sdn. Bhd., Norazirah Abdul Talip.\nSelain Misha Omar, turut tampil membuat persembahan ialah beberapa penghibur undangan daripada alumni Akademi Fantasia, iaitu Gadaffi Ismail Sabri (atau lebih dikenali sebagai Dafi) dan Zarol Zarif." "Hadiah Perpisahan Zii Jia buat BAM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\nBintang sensasi perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berada dalam kelas tersendiri apabila muncul penyumbang utama terhadap kejayaan Malaysia menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 yang melabuhkan tirainya di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam hari ini.\nKejayaan tersebut dilihat sebagai hadiah perpisahan terbaik kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memandangkan pemain berusia 23 tahun itu akan bergerak secara profesional dalam kariernya selepas ini.\nSebelum ini, anak jati Alor Setar, Kedah itu menggegarkan arena badminton tanah air apabila membuat keputusan untuk membawa haluan sendiri dan \u201cbercerai\u201d dengan BAM bagi menyertai mana-mana kejohanan pada peringkat antarabangsa.\nPerkhabaran itu sememangnya mengejutkan semua pihak apabila secara tidak langsung mencetuskan kemelut dengan BAM yang kemudiannya mengambil keputusan drastik untuk tidak mendaftarkan Zii Jia dalam\u00a0 mana-mana kejohanan antarabangsa yang diiktiraf Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selama dua tahun.\nNamun begitu, kemelut itu tidak berpanjangan apabila BAM akhirnya membuat \u201cpusingan U\u201d apabila memberikan lampu hijau dan merestui keputusan Zii Jia untuk bergerak secara profesional selepas mengadakan pertemuan\u00a0 dengan Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.\nTumpuan semua peminat sukan badminton negara sememangnya tertumpu kepada Zii Jia sepanjang saingan BATC 2022 dengan rata-rata mereka mahu melihat prestasi meyakinkan daripada pemain kedudukan ketujuh dunia itu yang dikritik hebat gara-gara keputusan tidak memberangsangkan penghujung tahun lalu.\n\nNama \u201cZii Jia\u201d mula menjadi perhatian selepas dia berjaya mencipta kejutan menjuarai Seluruh England 2021 dengan menewaskan juara dunia dari Denmark, Viktor Axelsen 30-29, 20-22, 21-9 pada Mac tahun lalu.\nEmpat bulan kemudian, Zii Jia diberikan tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun sekali gus menjadi sandaran utama kontinjen negara untuk mengutip pingat dan mengulangi pencapaian cemerlang pernah dilakukan Datuk Lee Chong Wei sebelum ini.\nJangkaan tinggi peminat tidak kesampaian apabila Zii Jia terkandas di pusingan 16 terbaik selepas tewas kepada pemenang pingat emas Olimpik Rio 2016 dari China, Chen Long dengan keputusan 21-8, 19-21, 5-21.\nWalau bagaimanapun, Zii Jia kembali berapa pada tahap yang terbaik dengan membantu Malaysia meraih pingat gangsa Piala Sudirman 2021, namun kecemerlangan itu gagal diteruskan dalam saingan Piala Thomas dua minggu kemudian apabila tewas pada peringkat suku akhir kepada Indonesia.\nSelepas itu, Zii Jia mengharungi prestasi terumbang-ambing dalam enam kejohanan Jelajah Dunia dengan pencapaian terbaiknya adalah muncul naib juara Terbuka Hylo di Jerman sebelum meraih tempat ketiga Jelajah Dunia Akhir BWF. Hasrat untuk melihat Zii Jia melangkah ke pentas final Kejohanan Badminton Dunia di Huelva, Sepanyol juga tidak kesampaian apabila dia terpaksa menarik diri pada peringkat suku akhir disebabkan oleh kecederaan tapak kaki, sekali gus memberikan kemenangan percuma kepada wakil Denmark, Anders Antonsen.\nKeputusan demi keputusan yang tidak memihak kepada Zii Jia menyaksikan dia sering dibandingkan dengan juara dunia baharu, Loh Kean Yew yang dilahirkan di Pulau Pinang sebelum memilih kerakyatan Singapura. Meskipun begitu, Zii Jia kembali membuktikan permainannya jauh lebih berkualiti berbanding dengan Kean Yew apabila dia mudah menundukkan lawannya itu dengan 21-6, 21-14 pada perlawanan pertama Malaysia ketika menentang Singapura dalam aksi Kumpulan A saingan BATC 2022.\nKemenangan Zii Jia menyuntik semangat tambahan buat barisan pemain negara menewaskan Singapura 5-0 menerusi empat lagi mata daripada beregu pertama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; perseorangan kedua, Ng Tze Yong; beregu kedua, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan perseorangan ketiga, Leong Jun Hao.\nSepanjang beraksi di BATC 2022, Zii Jia tidak pernah kalah kepada lawannya bermula dengan kemenangan ke atas Kean Yew diikuti perseorangan pertama Jepun, Riku Hatano (15-21, 21-6, 21-15); perseorangan pertama Korea Selatan, Jeon Hyeok-jin (13-21, 21-13, 21-15) pada separuh akhir dan akhir dengan menewaskan Chico Aura Dwi Wardoyo dari Indonesia, 14-21, 21-12, 21-10.\nZii Jia boleh menarik nafas lega apabila telah menghadiahkan satu kejayaan bersejarah buat BAM dan Malaysia dengan menjuarai gelaran BATC 2022 buat kali pertama sejak penganjuran itu mula diperkenalkan pada edisi 2016 di Hyderabad, India.\nKini, Zii Jia pastinya akan memastikan dirinya kekal berada pada tahap terbaik apabila bakal memulakan kalendar acara perseorangan lelaki bagi tahun 2022 dengan menyertai Terbuka Jerman bulan depan.\nTerbuka Jerman pastinya lebih dijadikan sebagai pentas buat Zii Jia mendapatkan \u201cangin\u201d di bawah kendalian jurulatih peribadi baharu, iaitu Indra Widjaja yang sepatutnya tamat kontrak bersama BAM sebagai ketua jurulatih perseorangan wanita pada 31 Mac ini. Indra mempunyai hubungan baik dengan Zii Jia kerana bermula dengan individu dari Indonesia itu daripada remaja hinggalah ke pasukan sokongan kebangsaan.\nMaka itu, Zii Jia sanggup menubuhkan Kelab Badminton Lee Zii Jia semata-mata melantik bekas pemenang pingat gangsa Piala Dunia 1997 itu yang merupakan calon tunggal untuk dilantik sebagai jurulatih peribadinya.\nSasaran sebenar mereka adalah bagi memastikan Zii Jia berjaya mempertahankan kejuaraan Seluruh England yang akan berlangsung pada 16 hingga 20 Mac 2022, iaitu selepas berakhirnya saingan Terbuka Jerman.\n(Sumber foto: Facebook Lee Zii Jia)" "KPM Lancar Sekolahku SEJAHTERA\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\nPutrajaya \u2013 Bagi memperkasakan dan menyokong aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), Pelan Pembangunan Pendidikan (PPPM) 2013 \u2013 2025 serta Anjakan 3 yang terkandung dalam PPPM, Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin telah memperkenalkan inisiatif Sekolahku SEJAHTERA sebagai konsep yang akan memayungi pelbagai tema, inisiatif serta program Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berteraskan nilai-nilai murni.\nYB Datuk Dr. Radzi berpandangan bahawa inisiatif ke arah pembentukan budaya amalan baik di sekolah oleh guru dan murid perlu dimantapkan lagi dan dilaksanakan secara berterusan sama ada di dalam dan di luar kelas melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum.\nSelaras dengan matlamat tersebut yang telah dibentangkan oleh Menteri Kanan Pendidikan sebelum ini, bertempat di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Putrajaya, Majlis Pelancaran Sekolahku SEJAHTERA diadakan pada hari ini untuk menghebahkan pelaksanaannya. Konsep Sekolahku SEJAHTERA dirangka berdasarkan prinsip FPK bagi mewujudkan suasana sekolah yang selamat, aman, selesa, menggembirakan, membina dan menyeluruh ke arah mencapai kesejahteraan masyarakat.\nDalam ucapan beliau, Menteri Kanan Pendidikan berkata, terdapat pelbagai program yang menerapkan nilai-nilai murni dilaksanakan oleh KPM, namun terdapat keperluan untuk memperkenalkan konsep Sekolahku SEJAHTERA bagi mengukuhkan pelaksanaan program penerapan nilai-nilai murni sedia ada pada peringkat sekolah supaya lebih berstruktur dan bersistematik.\n\u201cKonsep Sekolahku SEJAHTERA digagaskan bagi memperkenalkan, mempromosi dan meningkatkan kefahaman terhadap elemen-elemen sejahtera yang perlu sentiasa diterap, dididik, diamalkan dan dihayati sehingga menjadi budaya semua warga sekolah,\u201d jelas beliau dalam ucapan awalnya.\nPenerapan elemen SEJAHTERA yang bermula dari peringkat prasekolah itu akan berterusan hingga ke peringkat menengah, sekali gus akan diamalkan sepanjang hayat oleh mereka. Guru-guru juga tidak akan dibebankan dengan apa-apa tugasan sampingan berikutan pengenalan konsep Sekolahku SEJAHTERA sebaik-baik sahaja konsep tersebut dilaksanakan. \u201cKonsep ini juga bermatlamat untuk menambah baik peranan guru sebagai pemboleh daya penerapan elemen sejahtera, jelas YB Datuk Dr. Mohd. Radzi yang turut memberikan jaminan bahawa guru-guru tidak perlu khuatir tentang penambahan bebanan tugas baharu kerana konsep ini diperkenalkan untuk mewujudkan suasana harmoni di sekolah tanpa beban kerja tambahan.\nKonsep Sekolahku SEJAHTERA yang akan dimulakan pada sesi persekolahan akan datang turut bermatlamat untuk melahirkan generasi muda yang hebat sekali gus mampu bersaing pada peringkat dunia. YB Datuk Dr. Mohd. Radzi menjelaskan bahawa matlamat tersebut boleh dicapai melalui penjiwaan terhadap 14 elemen penting yang terkandung di bawah Konsep Sekolahku SEJAHTERA.\n\u201cKonsep Sekolahku SEJAHTERA memberikan tumpuan kepada 14 elemen, namun tidak bermakna nilai lain itu tidak penting. Pendekatan konsep ini adalah untuk memastikan anak-anak yang lahir daripada sistem pendidikan negara mampu berdaya saing, tegas beliau.\nAntara elemen penting tersebut ialah selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi. Pada masa yang sama, beliau menjelaskan pendekatan yang boleh digunakan oleh guru termasuklah menerapkan konsep tersebut melalui pelbagai aktiviti selain sesi pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas.\n\u201cGuru boleh menerapkan konsep ini secara semula jadi. Sebagai contoh, apabila guru yang berkenaan mengajar mata pelajaran Sejarah, mereka mengajar sesuatu tajuk yang berkaitan rapat dengan 14 elemen tersebut. Perkara yang paling utama ialah para pelajar dapat menjiwai konsep ini dan dapat melahirkan generasi hebat dan mampu bersaing pada peringkat dunia,\u201d jelas beliau semasa mengakhiri ucapan pada majlis pelancaran tersebut.\nDalam majlis yang sama, turut diperdengarkan buat pertama kali lagu tema Sekolahku SEJAHTERA yang didendangkan oleh penyanyi terkenal Hakim Rusli." "Penjiwaan Nilai Kehidupan Menerusi Sekolahku SEJAHTERA\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Konsep Sekolahku SEJAHTERA bermatlamat untuk melahirkan insan sejahtera yang menyumbang kepada kemakmuran keluarga, masyarakat, negara dan komuniti global. Proses penerapan elemen SEJAHTERA akan berubah ansur daripada berpusat kepada guru kepada berpusat kepada murid sejajar dengan perubahan tahap persekolahan murid ke arah melahirkan insan sejahtera.\nDalam Majlis Pelancaran Sekolahku SEJAHTERA pada hari ini oleh YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin, beliau menjelaskan bahawa konsep ini juga bermatlamat untuk menambah baik peranan guru sebagai pemboleh daya penerapan elemen sejahtera. \u201cPenerapan elemen SEJAHTERA dalam kalangan murid perlu dilaksanakan secara holistik kerana murid yang sejahtera sudah pasti akan membentuk sekolah yang sejahtera,\u201c jelas YB Datuk Dr. Mohd Radzi. Beliau menyatakan bahawa pendekatan di luar sekolah turut melibatkan sokongan holistik daripada keluarga dan komuniti bagi memastikan kesejahteraan murid.\nSetiap aktiviti yang dilaksanakan di sekolah kelak perlu berbentuk konstruktif dan kontekstual yang menyediakan peluang untuk murid mencipta idea baharu dengan meningkatkan kemahiran seperti melakukan pembentangan, melukis peta minda dan membuat refleksi. Seiring dengan kepentingan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada hari ini telah menggariskan konsep untuk membina semula pembentukan sahsiah pelajar di Malaysia seperti yang berikut:\nYB Datuk Dr. Mohd. Radzi berkata, penerapan konsep Sekolahku SEJAHTERA akan dilakukan secara semula jadi tanpa memerlukan sebarang penambahan mata pelajaran baharu di sekolah. \u201cIni bukan mata pelajaran baharu, bukan juga sisipan serta tidak akan membebankan guru,\u201c jelas beliau pada sidang akhbar selepas pelancaran Sekolahku SEJAHTERA di luar Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Tambah beliau, hal ini bermakna, nilai-nilai murni sedia ada akan diterapkan oleh setiap guru ketika sesi persekolahan berlangsung.\nLangkah awal ini secara langsung akan membentuk semula persepsi pelajar tentang sesi pembelajaran di bilik darjah dan menjadikan sekolah sebagai platform untuk mereka membentuk sahsiah diri secara bebas tanpa sebarang tekanan.\n\u201cKonsep ini merupakan penjiwaan dan penerapan di sekolah yang perlu diberi penekanan khusus bagi membentuk generasi akan datang,\u201c jelas Menteri Kanan Pendidikan. Tambah beliau, \u201cpelajar dapat menjiwai konsep ini dan kita yakin jika mereka betul-betul menjiwainya, konsep ini mampu melahirkan generasi hebat dan mampu bersaing di peringkat dunia\u201c." "Guru Penggerak Penjenamaan Semula Tingkatan Enam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bertemakan Kreativiti dan Inovasi Melestarikan Kecemerlangan Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pada hari ini melangsungkan Kolokium Pendidikan Tingkatan Enam Peringkat Kebangsaan kali kelima dan Festival Pendidikan Kebangsaan kali ketiga secara dalam talian.\nDalam kolokium yang berlangsung selama tiga hari yang bermula pada hari ini hingga 23 Februari 2022, sebanyak 74 orang warga pendidik akan membentangkan kertas kerja masing-masing.\nMelihat cabaran pendidikan masa kini, penganjuran program ini dengan temanya \u201cKreativiti dan Inovasi Melestarikan Kecemerlangan Pendidikan\u201d sangat bertepatan dengan hasrat KPM ke arah memartabatkan profesion keguruan, khususnya di pusat tingkatan enam,\u201d ucap YBhg. Datuk Hajah Nor Zamani Abdol Hamid, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia sewaktu merasmikan kolokium tersebut secara dalam talian.\nBeliau turut menjelaskan bahawa penjenamaan semula tingkatan enam merupakan antara satu daripada inisiatif KPM dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013\u20132025. Hal ini bertujuan untuk memperbaik dan meningkatkan kualiti pendidikan melalui pelaksanaan kajian tindakan terhadap amalan pengajaran bagi mengatasi masalah pembelajaran murid.\nKPM amat prihatin dalam memastikan penawaran pendidikan tingkatan enam yang berkualiti kepada murid lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui kelestarian tenaga pengajar yang mempunyai daya profesionalisme yang tinggi setaraf dengan prauniversiti.\u201d\n\u201cPerkara ini boleh dihasilkan melalui inovasi dan kreativiti para guru dalam memastikan proses pembelajaran berlaku mengikut kebiasaan baharu tatkala pascapandemik COVID-19 datang melanda.\n\u201cPlatform perkongsian amalan terbaik ini juga dapat memberikan galakan ke arah transformasi penyampaian pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi memenuhi keperluan pembangunan sumber manusia masa hadapan,\u201d ujar beliau.\nSementara itu, Prof. Madya Dr. Melor Md. Yunus, Timbalan Dekan Pendidikan dan Inovasi Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia berkata,\nKreativiti dan inovasi merupakan dua perkara yang sangat diperlukan dalam semua bidang kehidupan manusia, sama ada yang berkaitan dengan urusan kehidupan atau kerjaya. Kedua-dua elemen ini memberikan impak yang besar kepada kemajuan seseorang individu dan organisasi, apatah lagi dalam mentransformasikan PdP bagi tingkatan enam.\nSelain itu, YBhg. Datuk Hjh. Nor Zamani turut menegaskan bahawa guru-guru hendaklah bersikap terbuka dalam mendepani cabaran, seterusnya menjadi ejen perubahan pendidikan ini dan sentiasa bersikap proaktif dengan membudayakan penyelidikan ke arah peningkatan profesionalisme keguruan.\n\u201cIni merupakan titik permulaan ke arah pendigitalisasi bagi membuka lembaran baharu dalam memartabatkan murid tingkatan enam setaraf dengan prauniversiti, di samping memantapkan jaringan dan kerjasama pihak universiti dan agensi dalam memberikan keyakinan tentang kebolehpasaran lepasan tingkatan enam,\u201d jelas beliau menyatakan hasrat KPM dalam memenuhi keperluan ekosistem pendidikan semasa.\nMengakhir ucapan perasmian majlis tersebut, beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM kerana berjaya menganjurkan Kolokium Pendidikan Tingkatan Enam Peringkat Kebangsaan kali kelima dan Festival Pendidikan Kebangsaan kali ketiga." "Perlis Memenangi Kejohanan Sirkit Woodball Kebangsaan Kali ke-16\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Penaung DiRaja Persatuan Woodball Negeri Perlis berkenan berangkat meraikan kemenangan kontinjen \u201cThe Perlis Woodpeckers\u201d dalam Kejohanan Sirkit Woodball Kebangsaan kali ke-16 anjuran Persatuan Woodball Malaysia (MWA).\n\u201cTahniah buat Presiden, Chef De Mission serta seluruh kontinjen negeri yang berjaya mengekalkan daya ketahanan dan pencapaian yang sangat memberangsangkan,\u201d titah baginda menzahirkan rasa bangga akan kejayaan kontinjen Perlis dalam mengharumkan nama negeri.\nDalam titah baginda juga, selain memastikan pasukan negeri terus cemerlang, baginda berharap agar Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) sentiasa bersiap siaga dan terus komited dalam melakukan latihan secara berkala.\nKategori\nNama Peserta\nPencapaian\nDalam \u00a0kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 17 Februari 2022 hingga 20 Februari 2022 di Laman Woodball Taman Metropolitan Batu, Kuala Lumpur, bagi kategori khas \u201cGate in One\u201d pula telah dimenangi oleh wakil negeri Perlis, iaitu Nur Asyiffa Zaidi yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1000.\nTurut hadir dalam majlis penutupan dan penyampaian hadiah ialah Presiden Persekutuan Woodball Asia (AWF), Thomas Kok dan Presiden Persatuan Woodball Malaysia, Elaine Tan." "Majlis Aspirasi Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah menganjurkan Majlis Aspirasi Ketua Pengarah JPPKK 2022 yang disempurnakan oleh Ts. Zainab Ahmad dengan tema \u201cMelestari Ekosistem, Mengadaptasi Pendigitalan\u201d yang diadakan secara hibrid. Majlis turut dihadiri oleh pengurusan tertinggi JPPKK serta pengarah-pengarah politeknik dan kolej komuniti.\n\u201cMelestari Ekosistem, Mengadaptasi Pendigitalan\u201d yang menjadi tema bagi majlis aspirasi kali ini merupakan pendirian yang harus dipegang dalam segala tindakan dan keputusan yang dibuat bagi menjamin kehidupan masa hadapan yang harmoni antara manusia dengan alam sekitar. Tiga pemacu utama yang akan memandu arah masa hadapan kehidupan manusia dan sewajarnya menjadi pertimbangan pokok dalam segala keputusan dan tindak tanduk yang akan diambil ialah ekosistem (ecosystem), kelestarian (sustainability) dan penerimaan digital (digital adoption).\nMenurut Ts. Zainab Ahmad, semua 22 Key Performance Indicator (KPI) pada tahun 2021 telah mencapai sasaran yang ditetapkan dan sebanyak 99 peratus institusi pula telah mencapai skor melebihi 85 peratus. Malahan terdapat 95 institusi mencapai skor 100 peratus.\n\u201cPada tahun lalu, saya telah memperkenalkan empat inisiatif utama politeknik dan kolej komuniti sebagai satu organisasi untuk meningkatkan daya tahan mendepani cabaran dan meneraju masa depan. Empat inisiatif utama tersebut termasuklah Majlis TVET Negara, Pemantapan Skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPT), Pengukuhan Tadbir Urus Institusi dan Pengukuhan PSH Kolej Komuniti,\u201d ujar Ts. Zainab Ahmad.\nTs. Zainab Ahmad turut mengajak dan menyeru seluruh warga politeknik dan kolej komuniti untuk memfokuskan dan mempraktikkan KUSAVA yang membawa maksud pengetahuan dan pemahaman (knowledge and understanding), kemahiran dan aplikasi (skills and application) serta nilai dan sikap (values and attitude). KUSAVA boleh ditanam melalui aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) termasuklah aktiviti pembangunan pelajar dan interaksi secara formal dan tidak formal dalam ekosistem TVET yang bersesuaian di politeknik dan kolej komuniti.\nTs. Zainab Ahmad turut berkata, elemen KUSAVA juga memastikan pelajar dapat membangun secara holistik, berimbang dan mampu menangani fenomena globalisasi yang mencabar, kuantiti maklumat yang melimpah ruah serta teknologi yang semakin pesat di samping pertembungan peradaban Timur dan Barat." "Wanita Pendukung Generasi Muda yang Kompeten\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Bertemakan Peranan Wanita dalam Peningkatan Kualiti Pendidikan, Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis (IPGKPs) dengan kerjasama Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), pada pagi ini mengadakan Webinar Women in Search of Excellence (WISE) siri kali keenam secara dalam talian.\nKetika berkenan menyempurnakan perasmian majlis ini, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa peranan kaum wanita adalah sangat penting seiring dengan kaum lelaki dalam membentuk warganegara dan generasi yang sihat, kompeten dan berkebolehan dalam pelbagai aspek, khususnya bidang pendidikan.\nDalam konteks wanita sebagai ibu, dapat dilihat bahawa generasi yang terbentuk menerima pengaruh yang berkesan daripada didikan dan sentuhan kasih sayang ibu. Rata-rata pelajar menyatakan bahawa peranan dan tunjuk ajar daripada seorang ibu telah menjadi alat yang ampuh dan berkesan dalam mencapai kejayaan.\nTitah demikian dizahirkan baginda dalam menyokong dan memartabatkan kaum wanita dengan mempergiat pelbagai program bagi membantu diri mereka memperoleh ilmu yang bukan sahaja bermanfaat untuk meraih kejayaan, tetapi berguna kepada orang lain.\n\u201cBanyak cara yang dapat dilakukan untuk mencari pengalaman, misalnya membaca, mendengar pengalaman orang yang berjaya, menonton video atau melakukan perkara yang seseorang itu suka dan belajar dari titik permulaan sehinggalah benar-benar mahir dalam sesuatu bidang tersebut,\u201d titah baginda yang merangkap Penasihat DiRaja YTF ketika mengakhiri ucapannya.\nMajlis penutupan disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah.\nTerdahulu, ahli panel yang turut diundang untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan pandangan berkaitan dengan tema majlis ini ialah Ketua Jabatan Pusat Sains Liberal Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr. Sharmini Abdullah; Mantan Guru Cemerlang Gred Khas C, Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra Perlis, Datin Noridah Yangman; dan Mantan Pegawai SISC+ Gred Khas C Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Hajah Zalina Ahmad.\nSementara itu, Pensyarah di IPGKPs, Dr. Naziroh Ibrahim pula menjadi moderator slot \u201cUlasan Akademik\u201d yang istimewa melibatkan perkongsian mengenai sistem pendidikan di 11 buah negara lain di dunia." "Wanita dan Pendidikan Perlu Seiring \u2013 Raja Puan Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar\u00a0\u2013 \u201cPemikiran yang bercorak kejantinaan atau seksisme dan stereotaip\u00a0terhadap kebolehan wanita dalam hak pendidikan harus dikikis. Dunia hari ini menyaksikan wanita berjaya membuktikan tahap kebijaksanaan mereka bukan sahaja dalam bidang pendidikan, malah dalam bidang ekonomi, politik dan pelbagai lagi cabang bidang yang diceburi.\u201d\n\u201cSesungguhnya wanita memiliki hak dalam pendidikan. Peluang pendidikan wajib diberikan kepada semua rakyat\u00a0agar dapat mengembangkan lagi potensi individu dan turut berpeluang dalam menyumbangkan peranan mereka sebagai rakyat yang produktif dan berakhlak mulia.\u201d\nDemikian titah Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ketika berkenan menyempurnakan perasmian majlis penutupan Webinar \u201cWomen in Search of Excellence\u201c (WISE) siri kali keenam yang bertemakan \u2018Peranan Wanita dalam Peningkatan Kualiti Pendidikan\u2019 anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis (IPGKPs) dengan kerjasama Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) semalam.\nDalam ucapan majlis penutupan itu, Tuanku Raja Puan Muda yang juga selaku Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah\u00a0berpandangan bahawa pendidikan merupakan satu wahana penting dalam melahirkan warga negara dinamik dan berkualiti.\nTambah Raja Puan Muda Perlis lagi,\nPendidikan tidak dapat dipisahkan dengan wanita. Peranan wanita dalam pendidikan tidak boleh dipandang enteng kerana menurut Islam, wanita ialah \u201csekolah\u201d pertama kepada anaknya. Oleh itu, sesebuah negara yang ingin maju dari pelbagai aspek, perlulah memperkasakan pendidikan terhadap wanita.\nWanita berpendidikan dilihat sebagai satu bahagian yang dapat menyempurnakan usaha terhadap pembangunan negara. Dengan mengambil kira perubahan persekitaran dunia dan keperluan negara untuk turut sama bersaing dalam arus globalisasi ini, pelbagai usaha perlu diambil bagi melengkapkan wanita dengan pendidikan, serta penerapan kemahiran dan pengetahuan tinggi supaya wanita Malaysia dapat memenuhi tanggungjawab terhadap keluarga mahupun kerjaya.\nYang menariknya, selaras dengan tema majlis, pandangan dan perkongsian tentang sistem pendidikan di 11 buah bandar\u00a0raya di luar negara seperti Melbourne, Chicago, Copenhagen, New Delhi, Christchurch, Islamabad, Warsaw, Doha, Madrid, Stockholm dan Zurich turut dikupas." "Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin Mercu Tanda UniMAP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Kini warga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) boleh berbangga dengan mercu tanda baharu yang berada gah di atas bukit. Bangunan yang mula dibina pada 15 Ogos 2016, dan siap sepenuhnya pada bulan Disember 2019 ini telah dimasyhurkan dengan nama Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin UniMAP. Majlis pemasyhurannya telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, pada 24 Februari 2022.\nKetika mencemar duli dalam majlis pemasyhuran bangunan canselori ini, Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin telah bertitah bahawa baginda mengingatkan warga UniMAP supaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada pemegang taruh termasuklah pelajar, pihak industri dan komuniti.\nHal ini disebabkan oleh kekuatan sesebuah organisasi bukan terletak pada kekuatan individu semata-mata, tetapi berhasil melalui gabungan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak daripada pelbagai peringkat usia, pangkat dan pendidikan.\n\u201cApabila sesebuah pusat pentadbiran berada di dalam satu bangunan atau secara berpusat, maka bangunan itu menjadi penanda aras bagi mengembalikan kegemilangan UniMAP,\u201d demikian titah baginda lagi.\nHal ini dikatakan demikian kerana bangunan baharu canselori ini mempunyai aura tersendiri untuk menarik minat orang luar mendekati UniMAP serta menjadi mercu tanda kegemilangan UniMAP melalui pelbagai pendekatan.\n\u201cWalaupun kedudukan bangunan canselori ini berada jauh di atas bukit, namun jangan sesekali membiarkan bangunan ini terasing daripada yang lain. Bangunan ini sepatutnya boleh diakses oleh orang ramai termasuklah staf, pelajar dan masyarakat tanpa melanggar hak dan undang-undang bangunan. Selain itu, bangunan ini harus berkonsep mesra pelanggan agar para pengunjung berasa dekat dengan pengurusan tertinggi UniMAP.\u201d\n\u201cPihak UniMAP harus melaksanakan aktiviti berkala bersama-sama komuniti agar dapat memberikan peluang kepada mereka untuk berada dekat dengan UniMAP,\u201d titah baginda yang pada masa yang sama turut berkenaan menyempurnakan perasmian Galeri Universiti sebagai nilai tambah kepada Canselori Tuanku Syed Sirajuddin.\n\nBerangkat sama dalam majlis itu, Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.\n\nTurut berangkat Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Canselor UniMAP dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor UniMAP." "Seni Muzik Jalanan Memperkasakan Bahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bahasa tidak terikat dalam konteks rasmi semata-mata tetapi boleh juga melalui persembahan seperti dalam bidang seni muzik, iaitu lagu. Kreativiti dan kesenian muzik bukan sekadar hiburan semata-mata bahkan dapat membantu dalam menjanakan idea baharu yang penting untuk perkembangan dan penakatan bahasa Melayu.\nPelbagai program dan aktiviti tidak formal merupakan antara usaha yang boleh memasyarakatkan bahasa melalui aktiviti atau program yang bersifat santai dan hiburan mengikut minat masyarakat, seperti muzik jalanan. Muzik jalanan mempunyai peminatnya yang tersendiri kerana melalui lagu, bahasa turut diperkasakan.\nSehubungan dengan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja menganjurkan program Cabaran Seni Muzik Jalanan: Mengangkat Bahasa Melalui Lagu, yang berlangsung pada pukul 10.00 pagi tadi di Lobi Utama, Menara DBP. Program ini turut boleh ditonton secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP.\n\u00a0\nMenurut Puan Ariza Che Ismail (Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-Kanak dan Remaja), seni muzik jalanan dilihat sebagai satu daripada usaha mendekati jiwa anak muda untuk memartabatkan bahasa Melayu yang menjadikan lagu sebagai wadah untuk berhibur.\nBait-bait lirik lagu dengan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul menggalakkan penghasilan lagu yang berkualiti dari sudut bahasa dan makna. Hal ini dapat diperhatikan pada hari ini bahawa seni muzik jalanan sedang melalui zaman kegemilangan kerana diminati oleh golongan remaja yang terdiri daripada penggiat mahupun penonton.\nTambahnya lagi, aktiviti ini mampu menyemai semangat cinta akan bahasa dan sastera melalui lirik lagu yang dipersembahkan. Bermula dengan usaha menyelami jiwa golongan remaja ini yang dekat dengan dunia hiburan, tidak mustahil pada suatu masa nanti mereka mampu menjadi pemain industri muzik yang menghasilkan lirik lagu yang berkualiti dan dapat memperkenalkan budaya dan tradisi bahasa serta seni tanah air hingga ke peringkat antarabangsa.\nDalam program Cabaran Seni Muzik Jalanan: Mengangkat Bahasa Melalui Lagu ini, sebanyak tujuh kumpulan beradu nasib seperti kumpulan Carma Band, Sanggar Mustika, Jaybonz, Dakwah Band, Malnero, Sopan Band dan Beta Band. Setiap kumpulan mempersembahkan dua buah lagu termasuklah lagu irama tradisional Melayu, yang bertemakan bahasa, budaya, kesenian, estetika dan kemasyarakatan.\nAntara lagu rakyat popular yang dipersembahkan termasuklah lagu Rasa Sayang Hei yang dinyanyikan oleh kumpulan Sanggar Mustika. Lagu ini berunsurkan pengaruh Portugis dan ada kaitan dengan masyarakat Alam Melayu di Melaka pada ketika itu yang meminati muzik. Lagu lain yang dipersembahkan pula ialah lagu Lemak Manis, yang dipopularkan Roslan Madun.\nDalam cabaran tersebut, kumpulan Sanggar Mustika muncul johan dengan menerima hadiah wang tunai bernilai RM3000 berserta buku terbitan DBP dan turut memenangi anugerah Persembahan Terbaik, yang membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500 dan juga buku terbitan DBP.\nTempat kedua pula dimenangi oleh kumpulan Carma Band dengan hadiah wang tunai bernilai RM2000 berserta buku terbitan DBP, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Kumpulan Sopan Band yang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1500 berserta buku terbitan DBP.\nTiga hadiah sagu hati yang bernilai RM1000 dan buku terbitan DBP pula telah dimenangi oleh kumpulan Jaybonz,\u00a0 Malnero, dan Beta Band. Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan (Pengerusi Lembaga Pengelola DBP) dan turut dihadiri oleh Tuan Haji Md. Johari Hasan (Timbalan Ketua Pengarah (Dasar)), Puan Ariza Che Ismail (Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja), para pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi serta karyawan DBP." "Pengurniaan Watikah Pelantikan Lembaga Pengarah Universiti KUIPs\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Perlis \u2013 Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) bertitah pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Universiti KUIPs merupakan satu keperluan dalam sesebuah institusi pengajian tinggi.\nTuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut menyeru dan mengingatkan Ahli Lembaga Pengarah Universiti KUIPs supaya melaksanakan tugasan, amanah dan tanggungjawab dengan penuh ketelusan, cekap dan berintegriti pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Lembaga Pengarah Universiti KUIPs di Auditorium Kolej Universiti Islam Perlis.\nHal ini kerana setiap Ahli Lembaga Pengarah Universiti KUIPs yang dilantik terdiri daripada golongan profesional yang mempunyai kemahiran, pengalaman, kepakaran dan kebijaksanaan dalam bidang masing-masing untuk memacu hala tuju pembangunan pendidikan di KUIPs agar mencapai satu tahap kecemerlangan yang tinggi.\nSelain itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berharap agar semua Ahli Lembaga Pengarah Universiti KUIPs yang baharu mampu melonjakkan imej dan nama KUIPs ke persada antarabangsa serta menjadi satu institusi pendidikan berteraskan Islam yang unggul, berwibawa, dihormati dan disegani serta menjadi contoh kepada institusi pendidikan lain di negara ini.\nTuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, melalui pelantikan ini KUIPs mampu merealisasikan visi dan misi, iaitu menjadi institusi akademik berteraskan Islam terkemuka di peringkat antarabangsa yang menawarkan gabungan program pengajian Islam tradisional dan kontemporari di samping melahirkan insan berilmu dan beramal yang kompeten dalam memangkin pembangunan dan pemodenan negara.\nPelantikan ahli lembaga pengarah universiti itu melibatkan lapan ahli. Antaranya termasuklah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti KUIPs, Datuk Profesor Emeritus Dr. Kamarudin Hussin, Rektor KUIPs, Profesor Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran." "Tentera dan Rakyat: Tunjang Kedaulatan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Perlis \u2013 Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian \u201cProjek Jiwa Murni Sempena Hari Tentera Darat Ke-88\u201c peringkat Markas Briged Ke-30 Infantri Tentera Darat Malaysia yang diadakan di Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis. Sambutan Hari Tentera Darat itu bertemakan \u201cSinergi Tentera Darat dan Rakyat: Tunjang Kedaulatan Negara\u201c.\nMenurut titah Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, tema tersebut amat bertepatan dan signifikan dengan pelaksanaan \u201cProjek Jiwa Murni\u201c anjuran Briged Ke-30 Infantri Tentera Darat Malaysia yang dilaksanakan di Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis baru-baru ini. Perkara ini juga menunjukkan warga tentera sentiasa peka dalam usaha melengkapkan keperluan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat. Titah Raja Muda Perlis lagi:\nDengan kerjasama daripada penduduk setempat, ini jelas menunjukkan bahawa hubungan antara masyarakat dengan warga tentera adalah baik, malah dapat diperkukuhkan lagi. Usaha yang ditunjukkan ini telah menjadi kesinambungan kepada \u2018Projek Diraja Kampung Warna-warni Program Transformasi Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis\u2019.\nTambah baginda, kerjasama antara agensi negeri, pihak korporat dan briged berslogankan \u201cTeguh Perisai\u201d itu akan memberikan banyak manfaat dalam jaringan strategik organisasi dan mobilisasi rakyat menerusi pelbagai inisiatif yang diadakan. Tambahan pula, khidmat sokongan operasi dan pengurusan bencana oleh pelbagai pihak juga diperoleh dan secara tidak langsung, kualiti hidup rakyat dan penduduk setempat\u00a0 akan dapat ditingkatkan.\nKeberangkatan tiba Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah dalam majlis tersebut disambut oleh Panglima Briged berkenaan, Brigedier Jeneral Mohd Zaki Abu. Dalam majlis tersebut, para hadirin dipersembahkan dengan Tempur Tanpa Senjata.\n\nTurut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah Urusan Kumpulan WTC Kuala Lumpur, YBhg. Dato\u2019 Sri Dr. Hj. Irmohizam Ibrahim; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), YBhg. Raja Dato\u2019 Azwane Raja Ariff; Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi; dan Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Haji Mohd Salahuddin Mohamed." "Buku Liku-liku Pertemuan Baling Dedah Maksud Sebenar \u201cPertemuan\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBALING \u2013 Dalam Wacana Diskusi Buku Liku-liku Pertemuan Baling yang ditulis oleh Mejar (B) Dr. Nor Ibrahim Sulaiman yang dapat diikuti menerusi media sosial langsung Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada petang Ahad, beliau mendedahkan maksud sebenar di sebalik \u201cpertemuan\u201d yang sebelum ini difahami oleh masyarakat sebagai Rundingan Baling dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) yang diwakili oleh Chin Peng dan dihadiri oleh beberapa orang pemimpin tertinggi PKM dengan Ketua Menteri Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman pada 28 dan 29 Disember 1955. Wacana Diskusi Buku ini dijayakan oleh Kerajaan Negeri Kedah dan DBP dengan kerjasama Majlis Daerah Baling dan Lembaga Muzium Negeri Kedah.\nMenurut Dr. Nor Ibrahim, peristiwa bersejarah dalam pertemuan tersebut dikatakan menjadi penentu dan penggerak yang penting terhadap proses kemerdekaan negara, sama ada pertemuan ini menguntungkan pihak British atau di pihak Tunku dan Parti Perikatan pada ketika itu.\n\u201cBaling menjadi tumpuan negara dan antarabangsa pada ketika itu yang menyaksikan pertembungan ideologi dunia, malahan Malaya turut terlibat dalam kancah ini,\u201d jelas beliau.\nBeliau menegaskan berdasarkan transkripsi asal Pertemuan Baling daripada The Baling Talks, tiada kata putus yang dapat dicapai menerusi hasil \u201crundingan\u201d sebaliknya lebih kepada \u201cpertemuan\u201d antara kedua-dua belah pihak. Hasil penyelidikan Profesor Datin Paduka Datuk Dr. Ramlah Adam juga menjelaskan hal yang sama bahawa Pertemuan Baling ini bukanlah hanya sebuah pertemuan biasa, tetapi sebenarnya sebuah pertemuan dua ideologi bertentangan yang mahu menguasai antara satu sama lain.\nTernyata Pertemuan Baling, walaupun tidak memenuhi kehendak Tunku Abdul Rahman untuk membubarkan PKM, namun hal tersebut telah dapat meredakan sementara pengaruhnya. PKM masih tetap tidak dibubarkan sehingga kini.\nPenulis buku ini turut memetik kata Tunku yang memperlihatkan ketegasannya dalam pertemuan tersebut bahawa \u201cKedamaian tidak akan wujud selagi kedua-dua ideologi bercanggah begitu kuat antara satu sama lain. Saya mahu kedamaian. Itu sebabnya saya minta kamu menerima ideologi kami demi 7 000 000 orang rakyat jelata Persekutuan Tanah Melayu.Kamu hanya berjumlah beberapa ribu sahaja, maksud saya, jumlah kamu adalah kecil berbanding dengan kami. Pada masa hadapan, apabila kumpulan ini mungkin menjadi kuat dan apabila mereka kuat, kami akan mengalah kepada mereka.\u201d\nPada akhir konklusi, penulis buku ini menyatakan \u201csatu aspek persamaan antara Tunku dengan Chin Peng, iaitu \u201ckeegoan\u201d masing-masing dalam usaha mempertahankan pendirian mereka. Tunku dinukilkan sebagai nasionalis, manakala Chin Peng digambarkan sebagai setia dengan objektif parti yang mengatasi kebajikan rakyat.\nSementara itu, Profesor Madya Dr. Mohd. Kasri Saidon, dari Universiti Utara Malaysia dalam Wacana Diskusi Buku yang sama menyeru seluruh warga negara ini menghayati sejarah lalu bagi mewujudkan semangat patriotik dan jati diri bangsa. Menurut beliau, mengingati detik bersejarah bukan bersifat bermusim yang hanya perlu diingati pada 31 Ogos pada setiap tahun sahaja, sebaliknya perlu ditanamkan semangat patriotisme itu bermula pada awal tahun lagi.\n\u201cMisalnya, dengan mengingati sejarah Pertemuan Baling menggambarkan kepayahan dan kesukaran para pejuang nasionalisme pada masa dahulu untuk mencipta keindahan dan kedamaian negara,\u201d jelas beliau di hadapan peserta wacana. Tambah beliau, warga tempatan termasuk penduduk Baling yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India mempunyai jati diri masing-masing serta tidak mudah dipengaruhi oleh pemikiran asing yang dibawa oleh komunis.\n\u201cSemua bangsa pada ketika itu bersatu mempertahankan bumi tercinta,\u201d jelas beliau lagi.\nWacana Diskusi Buku Liku-liku Pertemuan Baling ini dikendalikan oleh Ketua Editor Buku Sekolah, Jabatan Penerbitan DBP, Encik Abdul Ghani Abu yang turut disaksikan oleh Menteri Besar Kedah, YAB Dato\u2019 Seri Haji Muhammad Sanusi Md. Nor dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi DBP, Tuan Haji Abd. Halim Haji Harun dan wakil kenamaan yang lain.\nSinopsis Liku-liku Pertemuan Baling\nBuku Liku-liku Pertemuan Baling memaparkan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh Tunku Abdul Rahman selaku Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu ketika berhadapan dengan tentangan British terhadap saranan beliau untuk melaksanakan program amnesti dan bertemu dengan Chin Peng. Tunku mengambil tindakan ini supaya proses untuk mendapatkan kemerdekaan dipercepat. British akhirnya akur terhadap desakan Tunku bersandarkan perwatakan beliau yang begitu antikomunis.\nChin Peng pula menyarankan pertemuan tersebut setelah dia menyedari bahawa dia tidak akan berjaya dalam peperangan bersenjata. Sebelum pertemuan itu lagi, kedua-dua tokoh tersebut sememangnya tidak berganjak daripada pendirian masing-masing. Tunku tidak mengiktiraf Parti Komunis Malaya (PKM) dan bertegas supaya parti tersebut dibubarkan serta pengganas komunis menyerah diri, namun pendirian pula Chin Peng sebaliknya. Kegagalan pertemuan ini membawa kepada kemerdekaan Tanah Melayu, manakala Chin Peng dan pasukan gerilanya terus menjadi buruan pasukan keselamatan." "Lebih 400 Ribu Calon akan Menduduki Ujian Bertulis Peperiksaan SPM 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa ujian bertulis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 akan bermula pada hari Rabu ini, 2 Mac hingga 29 Mac 2022.\nMenurut KPM, seramai 407 097 calon akan menduduki ujian bertulis ini di 3382 pusat peperiksaan di seluruh negara.\nSusulan daripada itu, seramai 50 514 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian sepanjang peperiksaan berlangsung.\n\u201cSemua calon hendaklah merujuk jadual waktu ujian bertulis peperiksaan SPM 2021 bagi mengetahui tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung,\u201d nasihat LP kepada semua calon SPM dalam kenyataan pada pagi tadi.\n\u201cCalon juga hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan oleh KPM, serta prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.\u201d\nTambah KPM, semua calon diingatkan untuk membawa dokumen penting, seperti kad pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.\nMengulas lebih lanjut, KPM menegaskan peraturan dan ketetapan ini adalah untuk memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan pencegahan penularan wabak COVID-19." "Perkembangan Kognitif Anak Istimewa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra \u2013 A-Heart Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima sumbangan berbentuk sebuah \u201cBilik Sensori\u201d daripada McDonald\u2019s Malaysia melalui Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) untuk kanak-kanak istimewa di negeri Perlis.\nSetiap anak lahir dengan kemampuan dan kebolehan yang berbeza-beza, seiring dengan lumrah kejadian yang menyatakan tentang setiap anak yang lahir ke dunia ini mempunyai karakter yang berlainan dengan keunikan masing-masing. Mereka mempunyai keistimewaan tersendiri, termasuklah anak-anak yang mempunyai masalah perkembangan kognitif yang perlahan.\nTitah Raja Perlis, Raja Muda Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail ketika merasmikan majlis semalam di Hub Sumber Pendidikan dan Latihan Autism atau Autism Hub for Educational Resources and Training (A-Heart) UniMAP di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.\nBaginda menegaskan bahawa anak-anak istimewa ini tidak seharusnya dipinggirkan dari segi pendedahan kepada pendidikan dan bantuan serta sokongan yang bersesuaian agar mereka mampu untuk berdikari serta berupaya untuk menempa pelbagai kejayaan yang membanggakan pada masa akan datang.\nTambah baginda dalam ucapan awalnya,\nIbu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak berkeperluan khas ini boleh mengambil peluang untuk menggunakan kemudahan ini sebaik-baik yang mungkin demi perkembangan positif minda dan fizikal anak-anak mereka.\nTerdahulu, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald\u2019s Malaysia, Dato\u2019 Azmir Jaafar turut memaklumkan bahawa Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald adalah program tajaan syarikat berkenaan yang dilaksanakan sejak tahun 2004 khusus untuk kanak-kanak istimewa bagi membantu perkembangan mereka dari segi pembelajaran dan keyakinan diri.\nMenurut beliau, kini, RMHC telah menyediakan sebanyak 35 Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald di seluruh negara bernilai RM3.7 juta dan memanfaatkan lebih daripada 7000 orang kanak-kanak istimewa di seluruh Malaysia ini.\nRMHC merupakan satu daripada badan yang mempunyai rangkaian bilik terapi sensori terbanyak di Malaysia. Konsep tajaannya bukanlah semata-mata menyediakan kelengkapan bilik terapi sensori sahaja, namun juga menyediakan latihan asas kepada pelatih kanak-kanak istimewa di seluruh negara.\n\u201cDengan tajaan bilik terapi sensori yang serba lengkap tersebut, mereka berharap inisiatif ini dapat memberikan manfaat kepada kanak-kanak istimewa terutamanya daripada keluarga B40 di Perlis bagi meningkatkan perkembangan kognitif dan keyakinan diri\u00a0 mereka di masa hadapan,\u201d ujar Dato\u2019 Azmir dengan hasrat agar inisiatif ini dapat dimanfaatkan oleh banyak pihak.\nMajlis ini turut dihadiri oleh Naib Canselor UniMAP, Lt. Kol. Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Pengarah Perhubungan Kerajaan, McDonald\u2019s Malaysia Datuk Seri Mohammed Nasir Rakhir. Yang menariknya, Clarence Kang turut tampil untuk membuat persembahan piano yang istimewa kepada tetamu yang hadir." "Ketua Menteri Sarawak Bergelar \u201cPremier\u201d Bermula Hari Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDewan Undangan Negeri Sarawak telah meluluskan beberapa pindaan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan 2022 kepada Perlembagaan Negeri Sarawak yang melibatkan perubahan terma \u201cKetua Menteri\u201d kepada \u201cPremier\u201d.\nPindaan tersebut mendapat sokongan 67 ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), manakala enam ahli dewan biasa tidak bersetuju.\nRentetan itu, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang bergelar Ketua Menteri Sarawak sebelum ini dikenali sebagai Premier Sarawak.\nSelain perubahan terma Ketua Menteri, RUU berkenaan turut menyaksikan perubahan terma jawatan Menteri Muda kepada Timbalan Menteri.\nSelain itu, Pejabat Ketua Menteri Sarawak bakal dikenali sebagai Pejabat Premier Sarawak, manakala Timbalan Ketua Menteri akan menggunakan terma Timbalan Premier.\nMenurut kenyataan Setiausaha Kerajaan Negeri Amar Jaul Samion, gelaran itu berkuat kuasa pada hari ini selepas pindaan perlembagaan negeri diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) 15 Februari lalu.\nPerubahan ini tidak akan membawa apa-apa perubahan yang ketara melainkan hanya untuk menghormati dan mengembalikan status istimewa negeri itu sejajar dengan perjanjian Malaysia 1963 yang menyaksikan Sarawak menjadi entiti utama semasa pembentukan Malaysia." "Pengurusan Peperiksaan SPM 2021 dalam Situasi Banjir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPUTRAJAYA- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah merujuk pada situasi banjir yang melanda beberapa buah daerah di Kelantan dan Terengganu. Keadaan tersebut memberikan kesan terhadap persiapan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 yang dijadualkan bermula pada 2 Mac hingga 29 Mac 2022.\nLembaga Peperiksaan (LP), KPM sentiasa memantau rapi situasi semasa pusat peperiksaan yang terjejas dan telah menyediakan pelan tindakan bagi memastikan calon SPM tahun 2021 dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan teratur dan selamat. Berdasarkan ketetapan sedia ada, pengurusan pusat peperiksaan yang terjejas akibat banjir dilaksanakan mengikut ketetapan Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan Bil.1/2001.\nLP juga menyediakan garis panduan khusus tentang pengurusan menghadapi banjir semasa peperiksaan awam yang meliputi aspek pengurusan sekolah dan pusat peperiksaan, calon peperiksaan, petugas peperiksaan serta pengurusan bilik kebal.\nKPM sentiasa prihatin dengan kebajikan calon yang terlibat dengan banjir. Oleh hal yang demikian, sekiranya calon peperiksaan SPM 2021 tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan disebabkan bencana banjir, calon terlibat boleh menghubungi guru kelas, Setiausaha Peperiksaan atau Pengetua di sekolah masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut. Selain itu, calon yang terkesan juga dibenarkan untuk menduduki peperiksaan di pusat peperiksaan lain yang boleh diakses sebagai calon menumpang dan perlu dimaklumkan kepada pusat peperiksaan asal.\nBagi calon atau petugas peperiksaan yang mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan dengan pengurusan menghadapi banjir semasa peperiksaan SPM, mereka boleh menghubungi bilik gerakan LP melalui talian 03-88893520 dan 03-88893601 serta Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing." "Calon SPM 2021 Sedia Hadapi Ujian Bertulis Hari Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nWalaupun negara masih dibelenggu dengan penularan jangkitan COVID-19 yang masih tiada penghujungnya, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 tetap bersemangat hadir ke sekolah untuk menduduki ujian bertulis yang bermula pada hari ini.\nSeramai 407 097 calon akan memulakan hari pertama peperiksaan dengan mata pelajaran Bahasa Melayu Kertas 1 pada pukul 8.00 pagi dan Bahasa Melayu Kertas 2 pada\u00a0 pukul 2.00 petang.\nSeperti yang dimaklumkan oleh Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), peperiksaan ini akan dilakukan secara serentak, iaitu sebanyak 3382 pusat peperiksaan di seluruh negara.\nDalam tinjauan di sekolah, seawal pukul 6.30 pagi calon yang menduduki peperiksaan SPM sudah mula tiba di perkarangan sekolah dalam keadaan pembudayaan kebiasaan baharu seperti memakai pelitup muka, serta dalam pengawasan guru-guru dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.\nSelain berbekalkan alat tulis dan ilmu pengetahuan seperti kebiasaannya apabila memasuki dewan utama peperiksaan, semua calon diingatkan untuk membawa kad pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.\nDi Selangor, seramai 381 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7 daripada 73 938 pelajar di seluruh daerah Selangor menduduki peperiksaan SPM di 503 pusat peperiksaan, manakala terdapat 35 orang pengawas dan petugas peperiksaan yang bertugas.\nSementara itu, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran merangkap Pemangku Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Puan Nor Faridah A. Bakar menyatakan bahawa seramai 219 pelajar yang positif COVID-19 setakat ini akan menjalani peperiksaan bagi fasa satu setelah tamat kuarantin pada minggu hadapan.\n\u201cJika mereka kuarantin dalam minggu ini sahaja, minggu hadapan mereka boleh jalani peperiksaan bagi fasa satu.\u201c\nTambah beliau, sebaik-baik sahaja pelajar tamat tempoh kuarantin pada minggu depan, mereka boleh menduduki ujian SPM bagi kertas seterusnya.\n\nDi Kuala Lumpur, seramai 133 pelajar, termasuklah 20 calon persendirian dan dua calon menumpang menduduki peperiksaan dengan 15 petugas di SMK Sentul Utama.\nDi Negeri Sembilan, Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Tuan Haji Md. Fiah Md. Jamin, membuat lawatan di SMK Kompleks KLIA, Negeri Sembilan bagi melihat perjalanan hari pertama peperiksaan dilaksanakan, di samping memberikan sokongan kepada pelajar. Terdapat 16 758 calon SPM mengikut kategori sekolah dan calon persendirian, termasuklah calon Murid Berkeperluan Khas (calon MBK) dan calon hospital di negeri tersebut.\n\u201cSebagai persiapan melaksanakan Peperiksaan SPM 2021, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan telah membuat pelantikan bagi semua petugas peperiksaan SPM 2021 bagi ditempatkan di semua 150 pusat peperiksaan.\u201d\n\u201cSaya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dalam suasana pandemik COVID-19, Negeri Sembilan tidak diuji dengan ujian banjir yang dihadapi oleh negeri Pantai Timur. Namun demikian, kami bersiap sedia sekiranya ada perubahan cuaca dan situasi banjir sekiranya berlaku,\u201d ujar beliau yang turut mendoakan keselamatan dan kesejahteraan perjalanan peperiksaan itu.\nRata-rata pelajar yang hadir pada pagi tadi menunjukkan semangat yang berkobar-kobar untuk mencapai cita-cita, di samping mengharapkan peperiksaan ini berlangsung dengan baik sepanjang tempoh peperiksaan hingga 29 Mac 2022, susulan daripada peperiksaan SPM yang ditangguhkan pada tahun lalu akibat pandemik COVID-19.\n(Sumber video: SMK Zainab 1, Kota Bharu, Kelantan oleh Che Hanuni)" "McDonald\u2019s Malaysia Bantu Masyarakat Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Perlis \u2013 \u201cKerjasama berterusan dan erat antara McDonald\u2019s Malaysia dengan kerajaan negeri Perlis melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) amat dialu-alukan dan seharusnya diteruskan lagi pada masa hadapan demi menjaga kepentingan dan kemaslahatan golongan yang susah,\u201d titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semalam sewaktu menghadiri majlis santapan malam McDonald\u2019s Malaysia bersama MAIPs dan UniMAP yang didiadakan di Kuala Perlis.\nMenurut Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald\u2019s Malaysia, YBhg. Dato\u2019 Azmir Jaafar, McDonald\u2019s Malaysia telah menganjurkan pelbagai program komuniti bagi masyarakat setempat dan setiap tahun dianggarkan lebih 7000 aktiviti kemasyarakatan berjaya dilaksanakan di bawah Program Komuniti McDonald\u2019s dan Ronald McDonald House Charity (RMHC) yang melibatkan restoran-restoran McDonald\u2019s di seluruh negara termasuklah sumbangan zakat.\nSesuai dengan kebiasaan baharu, sumbangan McDonald\u2019s Malaysia kepada masyarakat tetap diteruskan dan lebih satu setengah juta pek makanan telah disumbangkan kepada golongan barisan hadapan yang berada di seluruh negara sehingga kini. Pada tahun 2020 sahaja, RM250 ribu telah disumbangkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk pembelian peralatan perlindungan peribadi atau PPE,\u201c ujar YBhg. Dato\u2019 Azmir Jaafar.\nTurut hadir dalam majlis tersebut ialah Mufti Perlis, YBhg. Prof. Madya Dato\u2019 Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Naib Canselor UniMAP, YBhg. Lt. Kol. Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Pengarah Perhubungan Kerajaannya, YBhg. Datuk Seri Mohammed Nasir Rakhir." "Hari Anggota Tentera Ke-89: Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBukit Keteri\u00a0\u2013 Bersempena dengan Hari Tentera Darat Ke-89, Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan seluruh rakyat untuk bersama-sama mengambil iktibar daripada pergolakan politik antara negara Ukraine dengan Rusia baru-baru ini.\n\u201cAntara perkara yang boleh dilihat jika dibuat perbandingan kekuatan ketenteraan sesebuah negara yang sedang diambang konflik adalah dengan membandingkan kekuatan angkatan tetap dengan pasukan simpanannya. Begitu juga jika dilihat kekuatan angkatan simpanan tentera Ukraine dan Russia yang dimobilisasi dilihat tidak setara disebabkan jumlah populasi yang berbeza.\u201d\nKekuatan anggota tentera darat di sesebuah negara tidak akan pernah mencukupi untuk menjaga dan mempertahankan setiap inci tanah air sesebuah negara.\u201d\n\u201cOleh itu, sesebuah angkatan simpanan perlu diperkukuh, diberi latihan serta disiplin secukupnya bagi menampung kekurangan anggota tetap ini.\nTitah perutusan dizahirkan baginda bersempena dengan sambutan hari ulang tahun yang ke-89 kepada Rejimen Askar Melayu DiRaja dan yang ke-52 kepada Briged Keenam Infantri Malaysia, yang berpengkalan di Kem Bukit Keteri, Perlis.\nRaja Muda Perlis\u00a0yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah\u00a0turut bertitah,\nRejimen Askar Wataniah yang diwujudkan dalam setiap negeri kita adalah untuk melengkapkan rakyat dengan segala persiapan awal mengenai ilmu serta selok-belok ketenteraan bagi mengimbangi kekuatan anggota tentera tetap dan bersiap siaga menghadapi sebarang cabaran yang mendatang.\nBaginda bertitah bahawa kesejahteraan yang dimiliki oleh seluruh warga tentera adalah penting bagi meningkatkan moral serta semangat dalam melaksanakan tugas menjaga kedaulatan dan kepentingan negara.\nSementara itu, Timbalan Komander Rejimen, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak menyeru semua anak bangsa yang tidak berpeluang menyertainya sebagai seorang anggota tentera tetap agar menyertai Rejimen Askar Wataniah.\n\u201cTentera tetap dan tentera simpanan adalah sama, iaitu mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang ancaman musuh baik dari luar mahupun dalam.\u201d\nLeftenan Kolonel Mohamad Zaidi menasihati mereka yang telah bergelar anggota simpanan Rejimen Askar Wataniah, \u201cBerbanggalah dengan seragam yang anda sarung dan terus mendalami ilmu ketenteraan agar terus kekal aktif dalam Askar Wataniah walau di mana-mana sahaja anda berada\u201d." "Isu Mutu Bahasa dalam Media\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDewan Bahasa dan Pustaka menzahirkan kebimbangan tentang penggunaan bahasa yang tidak terkawal, kurang teratur dan tidak sopan, terutamanya dalam media sosial. Yang lebih mendukacitakan ialah hal itu tidak hanya melibatkan golongan muda bahkan golongan berusia walaupun banyak dakwaan ditujukan kepada golongan muda. Isu ini jika tidak ditangani akan menjejaskan dan merendahkan nilai bahasa Melayu sebagai tonggak tamadun, sehingga menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan generasi akan datang.\nKerisauan tentang keadaan itu sering dikemukakan oleh pendidik, ahli agama, ahli budaya dan sesiapa sahaja yang berpegang pada kepercayaan bahawa adab dan tamadun sesuatu bangsa amat berkaitan dengan corak bahasa yang digunakan oleh masyarakatnya. Jika tidak dikawal, lama-kelamaan masyarakat kita menjadi masyarakat permisif dan kononnya liberal walhal kita sebenarnya menuju ke arah kehancuran adab, akhlak dan tamadun.\nKeadaan menjadi lebih buruk apabila berkaitan dengan isu politik. Perbedaan parti, kem atau kelompok dalam parti atau sikap penentangan kepada pemimpin tertentu atau lawan politik seolah-olah menjadi lesen besar untuk orang tertentu menggunakan bahasa yang kesat dan kasar tanpa berlapik atau berbasa-basi.\nBahasa yang rancu atau tidak teratur dapat dilihat dalam dua hal. Pertama, bahasa yang tidak menurut aturan bahasa yang baik, dalam soal tatabahasa, ejaan dan pilihan kata. Setiap bahasa memiliki sistem dalam aspek sebutan, tulisan, tatabahasa, makna dan laras. Walaupun tidak dapat diharapkan bahasa yang sempurna dalam media sosial, terutamanya yang berbentuk bahasa perhubungan sehari-hari, namun perlu dihindari kesalahan asas yang mencacatkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa tamadun. Contohnya, apakah perlunya kata seperti \u201ctahu, apa, siapa, sahaja\u201c ditulis sebagai \u201ctew, aper, saper, sajer\u201c? Begitu juga cantuman kata seperti \u201cmakasih\u201c bagi \u201cterima kasih\u201c dan \u201cpakaba\u201c bagi \u201capa khabar\u201c. Untuk sapaan pula, kesantunan dan keindahan terjejas dengan meluasnya penggunaan kata ganti seperti \u201ckorang\u201c, dan \u201cdia orang\u201c. Sudah menjadi kebiasaan pula dalam media, pengguguran panggilan hormat sehingga orang yang terhormat disebut namanya sahaja sehingga terasa kehilangan adab dalam berbahasa.\nPenggunaan bahasa yang lebih parah adalah dalam hal kesantunan bahasa. Contohnya, banyak kata yang bersifat cacian, carutan, bidasan dan hinaan yang meluas dalam media sosial. Ada blog, Facebook, Twitter dan sebagainya yang leluasa menggunakan perkataan seperti \u201canak haram jadah\u201c, \u201cbinatang\u201c, \u201ckepala butuh engkau\u201c, \u201ckepala bapak engkau\u201c, \u201cbabi\u201c dan pelbagai perkataan lain yang menunjukkan hilangnya akhlak dan budi bahasa sebahagian anggota masyarakat. Seperti yang saya katakan, perbuatan itu malangnya turut dilakukan oleh orang dewasa yang patut menjadi contoh bagi golongan muda. Malah berdasarkan pemerhatian saya dalam media sosial, orang yang ada nama dalam masyarakat pun ada yang terlibat berbuat demikian.\nUntuk mengatasi atau membendung masalah itu, strategi pendidikan perlu lebih difokuskan kepada pembinaan sifat insan di samping penyampaian ilmu, maklumat dan kemahiran. Falsafah Pendidikan Kebangsaan berteraskan pendidikan bersepadu yang telah digubal pada tahun 1987 perlu benar-benar diterapkan dalam sistem pendidikan negara." "Perihal Kata Nafi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata nafi ialah kata tugas yang menafikan atau menyangkal sesuatu perkara atau keadaan. Dalam bahasa Melayu, terdapat dua kata nafi, iaitu bukan dan tidak. Kata nafi bukan menafikan kata nama dan frasa sendi nama, manakala kata nafi tidak menafikan kata kerja dan kata adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a.\u00a0 Dia bukan guru. (kata nama)\n1b.\u00a0 Dia bukan dari Ipoh. (frasa sendi nama)\n2a.\u00a0 Dia tidak berusaha. (kata kerja)\n2b.\u00a0 Dia tidak jujur. (kata adjektif)\nKata nafi bukan dapat juga menafikan kata kerja dan kata adjektif jika terdapat pertentangan maklumat dalam ayat. Sila lihat contoh yang berikut:\n3a.\u00a0 Dia bukan belajar tetapi bermain. (kata kerja)\n3b.\u00a0 Dia bukan sombong tetapi pendiam. (kata adjektif)\n3c.\u00a0 Dia bukan kedekut tetapi tiada duit. (kata adjektif dan frasa kerja)\nKata nafi bukan dapat juga membentuk kata hubung gabungan berpasangan seperti bukan sahaja . tetapi juga, atau bukan sahaja . malahan juga. Dalam hal ini, perkaitan maknanya adalah sehala atau serasi, dan tidak terdapat unsur pertentangan maklumat. Sila lihat contoh yang berikut:\n4a.\u00a0 Dia bukan murid sahaja tetapi pengawas juga. (FN)\n4b.\u00a0 Dia bukan ke Ipoh sahaja tetapi ke Langkawi juga. (FS)\n4c.\u00a0 Dia bukan menyanyi sahaja tetapi menari juga. (FK)\n4d.\u00a0 Dia bukan malas sahaja tetapi nakal juga. (FA)\n\u00a0\nKata nafi tidak dapat membentuk frasa dengan kata tunggal atau kata terbitan, dan sesetengah frasa itu dapat ditambah imbuhan. Sila lihat contoh yang berikut:\nDengan Kata Tunggal\ntidak + adil = tidak adil\ntidak adil + ke-.-an = ketidakadilan\n\u00a0\nDengan Kata Terbitan\ntidak + selaras = tidak selaras\ntidak selaras + ke-.-an = ketidakselarasan\ntidak + berperikemanusiaan = tidak berperikemanusiaan\ntidak berperikemanusiaan + ke-.-an =\u00a0 ketidakberperikemanusiaan\n\u00a0\nKata nafi tidak mempunyai bentuk singkatan tak. Kata tak boleh digunakan dalam bahasa percakapan, puisi atau istilah. Sila lihat contoh yang berikut:\nBahasa Percakapan\nDia tak nak datang.\nPuisi (sinkope)\nRibut di luar terus membadai\nribut di hati pun tak reda\ntak kunjung padam.\nIstilah\nketaknormalan\nkata kerja tak transitif\nkata bilangan tak tentu\nKata nafi bukan dan tidak dapat digunakan bersama-sama dalam ayat tertentu. Hal sedemikian menegaskan maksud yang hendak disampaikan. Sila lihat contoh yang berikut:\n5a.\u00a0 Dia bukan tidak tahu bahawa dia bersalah.\n5b.\u00a0 Bukannya dia tidak tahu bahawa dia bersalah.\n5c.\u00a0 Tidak lain dan tidak bukan dia bersalah.\nKata nafi bukan dan tidak boleh digandakan untuk mendukung maksud tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:\n6a.\u00a0 Dia sering bercakap tentang hal yang bukan-bukan.\n6b.\u00a0 Dia sering bercakap tentang hal yang tidak-tidak.\nDalam kelompok ayat 6, kata ganda bukan-bukan dan tidak-tidak berfungsi sebagai adjektif dan bererti \u201ctidak benar\u201d atau \u201ctidak munasabah\u201d. Dalam ayat 7, kata ganda bukan-bukan berfungsi sebagai penguat yang bermaksud \u201camat sangat\u201d.\nKata nafi bukan dan tidak dapat juga ditambah imbuhan untuk mendukung maksud tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:\n8a.\u00a0 Mereka berusaha seia sebukan.\n8b.\u00a0 Dia membukankan peraturan sekolah.\n9a.\u00a0 Dia bertidak akan tuduhan itu.\n9b.\u00a0 Dia menidakkan peraturan sekolah.\nDalam ayat 8a, frasa seia sebukan bererti \u201cseia sekata\u201d. Dalam ayat 8b, kata membukankan bererti \u201cmengingkari\u201d. Dalam ayat 9a, kata bertidak bererti \u201ctidak mengaku\u201d. Dalam ayat 9b, kata menidakkan bererti \u201cmenjadikan atau menganggap tidak ada\u201d, iaitu sama erti dengan kata mempertidak dan mempertidakkan.\nKata nafi tidak boleh juga ditambah imbuhan dan kemudiannya digandakan.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\n10a.\u00a0 Setidaknya dia sudi menolong kita.\n10b.\u00a0 Setidak-tidaknya dia sudi menolong kita.\nDalam kelompok ayat 10, kata setidaknya atau setidak-tidaknya berfungsi sebagai kata adverba dan mendukung maksud \u201csekurang-kurangnya\u201d.\nKata nafi bukan dapat juga bergandingan dengan kata lain untuk berfungsi seperti kata penguat yang bererti \u201camat sangat\u201d atau \u201cluar biasa\u201d. Sila lihat contoh yang berikut:\n11a.\u00a0 Bukan main nakalnya budak itu.\n11b.\u00a0 Bukan kepalang nakalnya budak itu.\n11c.\u00a0 Bukan buatan nakalnya budak itu.\n11d.\u00a0 Bukan barang-barang nakalnya budak itu.\n11e.\u00a0 Bukan sebarang nakalnya budak itu." "Siswa Milinea Ikon Inovasi Berteraskan STEM dan Sains Sosial\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nPertandingan Inovasi Inter-Asasi Matrikulasi kali kedua (PIITRAM 2022) dianjurkan secara maya bermula pada 2 hingga 8 Mac\u00a0oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sebagai tuan rumah pada tahun ini.\nPIITRAM merupakan program tahunan peringkat kebangsaan anjuran Majlis Dekan/Pengarah Pusat Asasi Universiti Awam anjuran Majlis Dekan/Pengarah Pusat Asasi Universiti Awam dengan temanya\u00a0\u201cEngaging through Innovation, Empower the Future\u201d. \nPenyertaan dalam program ini tidak terhad kepada pelajar, ahli akademik dan warga pengurusan daripada 12 buah pusat asasi di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), malahan terbuka kepada warga daripada 17 buah kolej matrikulasi di seluruh Malaysia. \u00a0Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan oleh Lt. Jen\u00a0Datuk\u00a0Hasagaya Abdullah Naib Canselor, Universiti Pertahanan Nasional\u00a0Malaysia (UPNM). Seterusnya, ucapan Perasmian PIITRAM 2022 oleh Prof. Dato\u2019 Dr. Husaini Omar Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi.\n\nKejayaan penganjuran PIITRAM kali pertama diadakan pada Mac 2021 telah memberikan\u00a0isyarat jelas bahawa penganjuran seterusnya amat dinantikan sebagai wadah pengembangan idea dan pembangunan jati\u00a0diri pelajar yang berada pada peringkat prauniversiti. UPNM telah diberikan\u00a0amanah bagi penganjuran PIITRAM bagi tahun 2022.\nMelalui PIITRAM 2022, pelajar khas berpeluang untuk mengetengahkan pelbagai cetusan inovasi melibatkan bidang STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) dan sains sosial yang bersifat semasa dan berteraskan\u00a0Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).\nProgram ini diharapkan\u00a0agar dapat membentuk pelajar dengan corak pemikiran penyelesaian masalah yang lebih bersedia,\u00a0terutamanya\u00a0dalam berdepan dengan cabaran COVID-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini. Di samping itu, PIITRAM 2022 juga membuka ruang kepada warga akademik dan pengurusan pusat asasi\u00a0untuk mengetengahkan hasil inovasi mereka dalam usaha meningkatkan keberkesanan dan kualiti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan pengurusan\u00a0akademik.\nSebanyak 288 kumpulan dari universiti awam dan matrikulasi di seluruh Malaysia akan menyertai pertandingan ini.\u00a0Pertandingan PIITRAM 2022 boleh diikuti secara langsung pada 2\u00a0hingga 4 Mac 2022 dan Majlis Penutup pada 8 Mac 2022 secara dalam talian\u00a0menerusi\u00a0aplikasi Zoom dan media sosial Facebook yang akan disempurnakan oleh YB Dato\u2019 Sri Dr. Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.\nProf. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Pakar Psikologi Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Felow Kluster Wanita dan Masyarakat Majlis Profesor Negara.\nRabi\u2019ahtuladawyah Md. Saleh, Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka." "Lebih 42 Ribu Terima Tawaran Kerja pada Januari 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Pada 3 Mac 2022, Majlis Pekerjaan Negara (NEC) telah mengadakan satu mesyuarat yang membincangkan program dan inisiatif untuk meningkatkan lagi peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia.\nBerdasarkan data yang diperoleh, sebanyak 1200 pekerjaan baharu telah diwujudkan dan lebih 40 ribu telah mendapat pekerjaan dalam bulan Januari 2022. Hal ini bukan sahaja menunjukkan ekonomi negara semakin membaik selari dengan pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial, malah membuktikan inisiatif negara dalam JaminKerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) membuahkan hasil dan terus membantu rakyat dengan pewujudan 600 ribu pekerjaan pada tahun ini.\nSelain itu, NEC juga turut menyusun strategi bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Antara cara yang dikenal pasti, termasuklah sistem kuota dan Multi-tier Levy (MTL) selain sokongan padu daripada majikan bagi memastikan impak kekurangan tenaga kerja pascapandemik dapat diimbangi dan dikurangkan.\nInsiatif JaminKerja terdiri daripada 3 komponen; Insiatif Penggajian Jamin Kerja, Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran dan juga Malaysia Short Term Employment Programme (MySTEP) yang membabitkan peruntukan sebanyak RM4.8 bilion. Bagi Insentif Penggajian JaminKerja, permohonan dibuka mulai 17 Januari 2022 sehingga 30 Jun 2022 dan boleh dibuat menerusi laman web Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan NEC telah menetapkan sasaran sejumlah 300 ribu penempatan.\nMenurut Kementerian Kewangan, kerajaan menyasarkan 220 ribu pelatih akan menjalani pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran dan sebanyak 5000 kursus akan ditawarkan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.\nBagi program MySTEP yang merupakan program pekerjaan jangka pendek secara kontrak di sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan akan dilanjutkan pada tahun ini dengan 80 ribu peluang pekerjaan disasarkan. Setakat 15 Februari 2022, program MySTEP menerima 5944 permohonan dan daripada jumlah tersebut, seramai 452 peserta telah berjaya ditempatkan di sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).\nOleh sebab kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan belia, iaitu 80.3 peratus, Kementerian Sumber Manusia telah merangka strategi untuk meningkatkan peluang pekerjaan bagi golongan tersebut. Kerajaan juga turut menekankan usaha pendedahan awal pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kepada pelajar tingkatan 1 untuk membantu pelajar membuat pilihan berdasarkan kecenderungan minat mereka.\nKerajaan yakin strategi NEC dapat meneruskan momentum pemulihan ekonomi negara, meningkatkan penciptaan peluang pekerjaan serta mengurangkan kadar pengangguran. Selain itu, kerajaan memandang serius tentang isu berkaitan seperti kekurangan pekerja dalam sektor tertentu, kesaksamaan peluang pekerjaan, perlindungan sosial bagi pekerja dan isu kebolehpasaran graduan." "Takaful Tawar Perkhidmatan Tunda Kenderaan Banjir secara Percuma\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful IKHLAS) menawarkan manfaat penundaan kenderaan secara percuma kepada pelanggan yang melanggan pelan perlindungan motor IKHLAS Comprehensive Private Car Takaful dan IKHLAS Private Car Comprehensive Plus Takaful, berikutan banjir yang melanda negara.\n\u201cKami di Takaful IKHLAS sentiasa peka dengan keperluan pelanggan, terutamanya pada waktu kritikal seperti musim banjir. Bermula hujung bulan Januari lalu, Takaful IKHLAS turut menawarkan khidmat tundaan percuma akibat banjir kepada pemegang sijil pelan perlindungan motor, iaitu IKHLAS Comprehensive Private Car Takaful dan IKHLAS Private Car Comprehensive Plus Takaful,\u201d kata Dato\u2019 Rudy Rodzila Che Lamin, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS.\nJelas Dato\u2019 Rudy, perkhidmatan tundaan ini merupakan manfaat tambahan kepada 24-Hour Bantuan IKHLAS Road Assist, iaitu perkhidmatan sisi jalan yang diberikan secara automatik kepada pemegang sijil tersebut. Bantuan ini menyediakan servis 24 jam tunda kemalangan atau kerosakan, bantuan sisi jalan, serta khidmat penyampaian maklumat kecemasan, perkhidmatan tukang kunci dan bantuan menghubungi kenderaan ganti, seperti teksi atau kereta sewa dengan kadar istimewa.\nBersandarkan prinsip \u201cKami Melindungi Semua\u201d dan \u201cIKHLAS Cares\u201d, kami tidak mengenakan sebarang sumbangan tambahan kepada peserta Takaful Motor yang mendapatkan servis tundaan kenderaan.\nKami berharap ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh mereka.\nMengakhiri ucapan dalam sidang media pada hari ini, beliau mengatakan Takaful IKHLAS akan terus komited dalam usaha membantu meringankan beban kewangan pelanggan kami yang terkesan akibat banjir.\n\u201cSehingga 20 Februari 2022, sebanyak 3669 kes tuntutan berjaya diselesaikan, yakni jumlah tanggungan tuntutan adalah sebanyak RM30 juta. Hal ini sejajar dengan aspirasi syarikat yang berazam meringankan beban peserta yang ditimpa musibah dan membantu mereka bangkit semula secepat yang mungkin,\u201d ujarnya lagi.\nKetahui lebih lanjut mengenai perkhidmatan pelan perlindungan motor ini di laman rasmi Takaful IKHLAS." "Masalah Kewangan Punca Pelajar IPT Tidak Melanjutkan Pengajian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad memaklumkan seramai 17 613 pelajar universiti awam tidak meneruskan pengajian pada tahun lalu, manakala 5165 pelajar menangguhkan pengajian tanpa mengemukakan alasan tertentu, berdasarkan laporan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).\nSementara bagi pelajar di universiti swasta pula memperlihatkan seramai 20 577 pelajar menangguhkan sesi pengajian mereka.\nMenurut beliau dalam Dewan Rakyat tadi, antara punca utama timbulnya masalah ini berlaku kepada pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di Malaysia adalah disebabkan oleh status sosioekonomi keluarga atau kesihatan diri, serta untuk mendapatkan kerja.\nMaka demikian, KPT telah mengambil langkah untuk membantu pelajar berdepan masalah menerusi pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).\n\u201cAntaranya, pihak universiti memberi keanjalan dalam menentukan kaedah PdPR, termasuklah ujian dan penilaian. Sebagai tambahan, pihak kementerian juga menyediakan biasiswa dan bantuan kewangan kepada kumpulan sasar, termasuklah golongan B40,\u201d ujar beliau.\nMelihat pada keseriusan jumlah angka tersebut, jika ketirisan graduan terus berlaku dalam sistem pendidikan negara, hal ini dijangka bakal memberikan kesan kepada struktur pasaran pekerjaan Malaysia.\nSusulan daripada itu, sebanyak 150 kaunselor dan ahli psikologi disediakan bagi membantu pelajar yang memerlukan khidmat berkenaan, yang diadakan secara fizikal di kampus ataupun secara dalam talian, iaitu e-kaunseling dan telekaunseling.\nMengulas lebih lanjut, beliau berkata, kementerian akan terus berusaha untuk menyediakan perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial yang terbaik kepada pelajar, khususnya yang mengalami tekanan emosi atau mental." "Sesi Persekolahan 2022/2023 Bermula pada 21 Mac Tanpa Penggiliran\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Hampir keseluruhan murid bagi sesi\u00a0persekolahan penggal satu 2022/2023 akan bermula pada 21 Mac 2022 tanpa penggiliran, kecuali murid sekolah menengah yang akan hadir memasuki sekolah pada 4 April.\n\u201cHal ini bermakna bermula 21 Mac hingga 4 April, murid sekolah menengah akan melakukan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), selepas tarikh itu, mereka kemudiannya akan menjalani pembelajaran secara bersemuka tanpa penggiliran.\nBagi sekolah berasrama penuh, murid tingkatan satu yang berjaya memasuki sekolah berasrama sepenuhnya, pendaftaran murid akan dilaksanakan secara dalam talian. Murid terlibat boleh memilih sama ada menjalani PdPR atau menumpang di sekolah harian yang berdekatan kediaman sehingga tarikh kemasukan ke sekolah berasrama diumumkan,\u201c jelas Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin menerusi video di laman media sosialnya, Facebook hari ini.\nPENGOPERASIAN INSTITUSI PENDIDIKAN BAWAH KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA BAGI KALENDAR AKADEMIK PENGGAL 1 SESI 2022_2023\nMenurut beliau, KPM akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa apabila sekolah dibuka kelak bagi memastikan segala prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan baiknya.\nJelasnya, pelaksanaan ujian saringan COVID-19 bagi murid sekolah rendah bawah Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilakukan secara kendiri oleh murid di rumah dengan bimbingan ibu bapa atau penjaga dan mengikut garis panduan yang disediakan oleh KPM.\nKeputusan ujian saringan perlu dilaporkan kepada pihak sekolah mengikut garis panduan yang ditetapkan.\nKPM membenarkan murid untuk memakai pakaian yang sesuai dan kemas serta sopan sekiranya pakaian sedia ada tidak lagi sesuai dipakai.\nMengulas lebih lanjut mengenai pengoperasian sekolah, KPM menetapkan semua murid sekolah rendah harian dan sekolah rendah swasta, termasuklah sekolah ekspatriat dan sekolah antarabangsa yang mempunyai enrolmen keseluruhan kurang daripada 600 murid hadir secara bersemuka tanpa penggiliran.\nNamun begitu, bagi sekolah rendah swasta, termasuklah sekolah ekspatriat dan sekolah antarabangsa yang enrolmen keseluruhan melebihi 600 murid, permohonan boleh dikemukakan kepada KPM untuk beroperasi sepenuhnya tanpa penggiliran. KPM akan membuat pertimbangan sebelum memberikan kelulusan.\nPelajar yang dinyatakan ini, termasuklah Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), prasekolah, tahun satu, tahun dua, tahun enam, serta murid bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT), manakala murid tahun tiga, tahun empat dan tahun lima pula akan hadir secara penggiliran.\nSelain itu, pengoperasian Kolej Vokasional (KV) bagi murid Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM), serta Institut Pendidikan Guru (IPG) turut dilaksanakan secara bersemuka mengikut takwim pengajian akademik yang ditetapkan.\nSementara itu, KPM juga menyarankan agar ketetapan pengoperasian pendidikan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM.\nWalau bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya ibu bapa atau penjaga memilih untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah, ketidakhadiran itu tidak dianggap sebagai satu kesalahan disiplin. Namun begitu, mereka perlu memaklumkan kepada pihak sekolah bagi tujuan perekodan." "Istiadat Konvokesyen Ke-15 UniMAP Meraikan 2763 Graduan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenaan berangkat menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Ke-15 UniMAP (Universiti Malaysia Perlis) yang bermula pada hari ini, 5 Mac 2022. Istiadat tersebut yang akan berlangsung hingga 8 Mac 2022 melibatkan lapan sidang dan akan disempurnakan oleh Tuanku Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro-Canselor.\nDalam istiadat tersebut, Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengucapkan tahniah kepada graduan yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing serta kepada ibu bapa, waris dan keluarga atas segala sokongan dan pengorbanan yang dicurahkan kepada mereka sehingga berjaya diraikan dalam konvokesyen pada kali ini. Baginda turut merakamkan penghargaan kepada YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Sri Ir. Ts. Abdahir Haji Abdul Majid yang dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan dan Encik Goh Kheng Sneah yang menerima Ijazah Kehormat Sarjana Kejuruteraan dalam istiadat konvokesyen tersebut yang diadakan di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra pada pagi tadi.\n\nMenerusi istiadat konvokesyen kali ini, sebanyak 2763 graduan diraikan dan akan menerima ijazah menerusi lapan sidang yang diadakan secara fizikal. Menurut Naib Canselor UniMAP, Lt. Kol. Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, daripada jumlah itu, 60 graduan ialah penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 117 graduan ijazah sarjana, 2294 orang penerima ijazah sarjana muda dan 292 ialah penerima diploma.\nMenurut Raja Muda Perlis dalam titah baginda dalam majlis ini, penerokaan ilmu tanpa mengabaikan kualiti pendidikan amat penting kepada graduan dalam mencapai kejayaan. Titah baginda:\nMenghormati hak orang lain, bertolak ansur, dan bekerjasama itu tidak memerlukan IQ \u00a0(darjah kecerdasan atau \u2018intelligence quotient\u2019) yang tinggi tetapi EQ, ataupun \u2019emotional quotient\u2019. IQ yang tinggi tetapi tanpa kecerdasan emosi, EQ, tidak akan menjadikan seseorang itu berjaya.\nEQ ialah satu kebolehan atau kemahiran untuk mengenal pasti dan mengawal emosi diri sendiri dan juga emosi orang lain. Suka saya mencadangkan agar EQ dipelajari dan dibina dalam diri sebagai persediaan untuk memasuki pasaran pekerjaan di samping meningkatkan nilai diri.\nTambah baginda lagi, empat perkara perlu diberikan keutamaan dalam meningkatkan nilai diri:\nPertama \u2013 melaksanakan penilaian kendiri\nKedua \u2013 mengambil tanggungjawab dan sentiasa bertanggungjawab atas apa-apa jua tindakan yang dibuat\nKetiga \u2013 mengenal pasti bagaimana tindakan kita memberikan kesan kepada orang lain\nKeempat \u2013 mengkaji respons diri kita terhadap tekanan\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra juga menyeru semua para graduan dan juga alumni UniMAP supaya berbangga dengan UniMAP yang telah melahirkan siapa mereka pada hari ini. Baginda juga berharap agar para graduan dan alumni terus menyokong dan mendukung nama baik UniMAP tidak kira di mana-mana sahaja mereka berada kerana UniMAP sentiasa berbangga dengan mereka semua.\nDalam istiadat konvokesyen ini juga, UniMAP turut menyampaikan empat anugerah khas, iaitu Anugerah Pelajaran Diraja, Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Naib Canselor dan Anugerah Kecemerlangan Akademik Program Siswazah.\nPenerima \u201cAnugerah Pelajaran Diraja\u201d ialah Nurfatin Nabila Norasri dan Aw Hui Yee manakala \u201cPingat Emas Canselor\u201d diterima oleh Nur Shahirah Mohd Zaini dan Poh Lee Ching. Penerima \u201cPingat Emas Naib Canselor\u201d ialah Chawalit a/l Udom Sak, Sundeep Singh Bhullar a/l Manmohan Singh dan Fuad Hassan Adam dan \u201cAnugerah Kecemerlangan Akademik Program Siswazah\u201d diraih oleh Santheraleka a/p Ramanathan, Shariffah Zarihan Syed Zaharin Helmi dan Tan Kia Ying.\nUniMAP terus melangkah ke hadapan dalam pembangunan pendidikan dan pasaran kerja. Menurut Naib Canselor UniMAP, Lt. Kol. Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, sehingga kini, sebanyak 98.3% graduan UniMAP berjaya menceburi bidang pekerjaaan sama ada dalam sektor kerajaan, swasta atau bekerja sendiri seperti menjalankan perniagaan." "Raja Muda Perlis Dilantik Semula sebagai Canselor UniMAP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dilantik semula sebagai Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk tempoh tujuh tahun lagi. Watikah pelantikan tersebut dipersembahkan kepada Tuanku Raja Muda oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, YM Raja Dato\u2019 Azwane Raja Ariff dan Naib Canselor UniMAP, Lt. Kol. Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli bagi mewakili Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad di Bilik Canselor, Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra pada hari ini.\n\nPelantikan DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sebagai Canselor UniMAP adalah untuk tempoh berkuat kuasa mulai 13 Disember 2021 hingga 12 Disember 2028. Pada 20 Disember 2021 yang lalu, perisytiharan pelantikan tersebut telah diperkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta\u2019in Billah.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra mula dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XII, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail sebagai Canselor Pertama Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) pada 1 September 2003. Kolej universiti tersebut kemudiannya dijenamakan semula sebagai Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sehinggalah ke hari ini." "Pasukan Sukarelawan DBP Meneruskan Misi Bantuan Banjir di Hulu Terengganu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Berang \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur yang bernaung di bawah Persatuan Sukan dan Kebudayaan KPM (MESCA) telah mengadakan misi sukarelawan untuk membantu membersihkan kawasan Sekolah Kebangsaan Sungai Berua, Kuala Berang yang terkesan akibat banjir di Hulu Terengganu pada 3 Mac lalu.\nMisi ini melibatkan hampir 100 orang sukarelawan yang terdiri daripada warga DBP, Jemaah Nazir Malaysia, Jemaah Nazir Pahang, Jemaah Nazir Terengganu dan SRS Kawasan Rukun Tetangga Kampung Tok Ku, Chabang Tiga, Kuala Terengganu.\n\nMajlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) juga turut turun padang dalam membantu para sukarelawan melaksanakan misi bantuan banjir pada kali ini. Pihak MHDT juga berbesar hati menghantar petugas bersama-sama dua buah jentolak dan lori bagi melancarkan kerja-kerja pembersihan kawasan sekolah yang terjejas teruk akibat banjir.\n\u00a0\nPara sukarelawan melakukan tugasan membersihkan kawasan sekolah bermula dari pukul 9.00 pagi hingga pukul 5.00 petang. Sumbangan tenaga yang dihulurkan oleh para sukarelawan, bukan sahaja bertujuan untuk membantu pihak sekolah membersihkan kesan banjir, malah juga sebagai satu tanggungjawab sosial dan khidmat masyarakat oleh warga DBP sebagai sebuah agensi yang berada di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).\nPara petugas misi sukarelawan pada kali ini juga berharap agar bantuan tenaga yang diberikan dapat meringankan beban para guru Sekolah Kebangsaan Sungai Berua, Kuala Berang. Ibarat Pepatah Melayu, \u201cBerat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing\u201d. Tambahan pula, sesi persekolahan tahun 2022 bakal bermula pada 21 Mac kelak.\nMisi sukarelawan ini turut mendapat sokongan moral daripada Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran. Dalam ucapan beliau semasa majlis pelepasan sukarelawan DBP, beliau mengucapkan penghargaan dan menasihati sukarelawan agar berhati-hati semasa bertugas di tempat kejadian.\nHasil pemerhatian pasukan sukarelawan, kawasan sekolah yang terletak berhampiran dengan sungai tersebut terjejas teruk disebabkan banjir. Ketika kejadian, paras air naik dengan ketinggian sekitar empat kaki. Setelah air surut, seluruh kawasan sekolah diseliputi lumpur tebal dan sampah sarap yang dibawa arus banjir serta longgokan kayu-kayan di sekitar kawasan sekolah.\n\n\n\nPara sukarelawan yang terlibat bertungkus lumus dan sedaya upaya membersihkan lumpur, sampah sarap serta membuang peralatan sekolah yang rosak. Kemudahan sekolah yang rosak adalah seperti perpustakaan, bilik darjah, bilik guru dan bilik-bilik khas. Peralatan tekonologi maklumat dan komunikasi (ICT) seperti paparan hablur cecair atau LCD (liquid crystal display), komputer dan mesin pencetak juga rosak. Kerugian dianggarkan mencecah ratusan ribu ringgit.\nDiharapkan warga Sekolah Kebangsaan Sungai Berua yang terkesan akibat bencana banjir ini tidak berputus asa untuk memulakan sesi persekolahan 2022 tidak lama lagi. Semoga lebih banyak bantuan dapat dihulurkan agar murid-murid yang terdiri daripada Orang Asal ini dapat kembali bersekolah seperti sediakala." "Pendekatan Menangani Isu Beg Berat dalam Kalangan Murid\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini memaklumkan beberapa pendekatan dan ketetapan yang akan dilaksanakan bagi menangani isu beg berat murid, khususnya murid tahap 1 di sekolah rendah.\nHal ini demikian kerana isu berkaitan dengan beg berat murid merupakan isu yang telah berlarutan sekian lama. KPM telah menjalankan tiga kajian utama berkaitan dengan beg berat, iaitu Kajian Beban Buku Murid Sekolah Rendah (1994), Kajian Berat Beg Murid Sekolah Rendah (2008) dan Laporan Kajian Berat Beg Murid Sekolah Rendah (2017). Berdasarkan hasil kajian tersebut, KPM telah mengambil pelbagai tindakan bagi menangani isu berkenaan. Antaranya adalah dengan mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/2000: Penggunaan Buku Kerja di Sekolah Rendah dan Surat Siaran Panduan Menangani Isu Beg Berat Murid di Sekolah pada tahun 2018. Namun demikian, perkara tersebut masih belum dapat ditangani sepenuhnya dan sering menjadi keluhan masyarakat.\nSehubungan itu, KPM telah memperincikan secara mendalam perkara berkaitan dengan isu beg berat dan merangka satu penyelesaian yang holistik bagi menangani isu tersebut secara tuntas. Berdasarkan penelitian ke atas maklum balas yang diperoleh, isu beg berat adalah kritikal dalam kalangan murid sekolah rendah, khususnya murid tahap 1, iaitu tahun 1, tahun 2 dan tahun 3. Oleh yang demikian, ketetapan KPM yang akan dilaksanakan dengan segera adalah seperti yang berikut:\n1. Penyediaan Lokar\nKPM akan menyediakan lokar di sekolah rendah secara berfasa. Fasa 1 akan melibatkan penyediaan lokar untuk murid tahap 1, iaitu tahun 1, tahun 2 dan tahun 3 di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi. Pelaksanaan ini akan melibatkan 10 662 kelas dengan 323 186 orang murid. Jumlah anggaran peruntukan tahun 2022 untuk pelaksanaan Fasa 1 adalah sebanyak RM37.3 juta.\nBagi Fasa 2 pula, penyediaan lokar akan diperluaskan kepada murid tahap 2, iaitu tahun 4, tahun 5 dan tahun 6 di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi. Pelaksanaannya dijangka pada tahun 2023.\nBagi sekolah satu sesi pula, murid akan menyimpan buku di dalam laci meja di bilik darjah masing-masing.\n2. Penyusunan Semula Jadual Waktu\nMelaksanakan jadual waktu yang mengandungi tiga hingga empat mata pelajaran sehari, mengikut kaedah dan pelaksanaan yang sesuai terutamanya aspek pemberatan mata pelajaran, ketersediaan guru dan sesi persekolahan.\nDi samping itu, sekolah akan diberi kelonggaran untuk menyediakan jadual waktu mengikut kitaran minggu sebagaimana yang sedang dilaksanakan oleh sebilangan sekolah bawah KPM.\n3. Buku Latihan\nBilangan buku latihan hendaklah tidak melebihi dua buah buku bagi setiap mata pelajaran pada satu-satu masa. Setiap buku latihan hendaklah tidak melebihi 80 muka surat.\n4. Buku Aktiviti dan Buku Kerja\nMurid hanya dibenarkan untuk menggunakan buku aktiviti yang disediakan oleh KPM manakala buku kerja hanya boleh digunakan sebagai bahan rujukan atau bahan ulang kaji di luar waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP).\n5. Buku Teks Digital\nPenerbitan baharu buku teks dalam format digital secara berterusan. Sehingga kini, sebanyak 692 judul buku teks digital telah dimuat naik dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa). Murid yang mempunyai peranti boleh mengakses buku teks digital melalui pelantar DELIMa.\n\n6. Pendekatan PdP\nGuru digalakkan menggunakan pendekatan PdP berpusatkan murid, iaitu pembelajaran bertema, modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali (virtual lab) atau pembelajaran terbeza.\n7. Kerjasama dengan JAKIM\nKerjasama dengan pihak Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) juga diadakan dari aspek penyelarasan uniform agar murid diberi kelonggaran untuk memakai uniform sekolah masing-masing semasa sesi persekolahan KAFA.\nBagi memastikan setiap pendekatan dilaksanakan sebaik-baiknya bagi mencapai matlamat untuk mengurangkan isu beg berat, KPM akan memantau rapi pelaksanaan semua pendekatan yang ditetapkan oleh KPM. Pemantauan ini akan dilaksanakan oleh sebuah pasukan petugas yang akan melaporkan secara berkala pelaksanaan inisiatif untuk mengurangkan beban beg berat murid.\nSelain itu, KPM juga akan terus meningkatkan kerjasama erat dengan ibu bapa atau penjaga bagi membantu menangani masalah beg berat murid, khususnya dalam memastikan murid membawa buku mengikut jadual yang ditetapkan. Di samping itu, sesi libat urus dengan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) akan turut ditingkatkan sebagai satu pendekatan untuk pemantauan berkaitan dengan isu ini.\nKPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik." "Kebolehpasaran Graduan UniMAP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra \u2013 Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Tuanku Pro-Canselor berkenan berangkat menyempurnakan Sidang Ke-2 Istiadat Konvokesyen Ke-15 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra pada petang semalam.\nDalam sidang tersebut, sebanyak 201 graduan ljazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian, Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Mekatronik) dan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Kepujian) (Kuasa Industri) menerima anugerah masing-masing daripada baginda.\nNaib Canselor UniMAP, Lt. Kol. Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli yang hadir mengiringi keberangkatan Raja Puan Muda Perlis dalam ucapan beliau menyatakan kesyukuran kerana pada tahun ini Istiadat Konvokesyen UniMAP dapat dilaksanakan untuk meraikan kejayaan siswazah selepas tamat pengajian mereka pada 2020. Hal ini demikian kerana istiadat Konvokesyen UniMAP terpaksa ditangguhkan sejak dua tahun lalu akibat penularan pandemik Covid-19.\u00a0\nMenerusi ucapan Naib Canselor, beliau turut berkongsi nama-nama graduan UniMAP yang berjaya dalam pekerjaan bagi menyatakan rasa bangga akan kewibawaan UniMAP sebagai institusi pendidikan tinggi. Menurut beliau, sehingga kini, sebanyak 98.3% graduan UniMAP berjaya menceburi bidang pekerjaaan sama ada dalam sektor kerajaan, swasta atau bekerja sendiri seperti menjalankan perniagaan. Kebolehpasaraan graduan dalam bidang teknologi kejuruteraan elektrik pada tahun 2021 mencatat jumlah 98.1% dan pada tahun 2022 dianggarkan kebolehpasaran graduan dalam bidang tersebut berjumlah 99.7%.\nSelain itu, beliau juga berkongsi informasi berkaitan dengan QS World University Rankings (WUR) Edisi 2022 bagi kategori mata pelajaran Kejuruteraan \u2013 Elektrik dan Elektronik, iaitu UniMAP berada pada kedudukan 401 hingga 450 dunia. Bagi mata pelajaran Kejuruteraan dan Teknologi untuk Times Higher Education (THE) pula, UniMAP berada pada kedudukan 1001+ manakala bagi mata pelajaran Sains Fizikal, UniMAP kini berjaya berada pada kedudukan 501 hingga 600 dunia." "Perkembangan Bahasa Melayu Selama 60 Tahun Memperindah Hubungan Persahabatan China\u2013Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAntara negara di dunia yang menawarkan kursus bahasa Melayu termasuklah negara China, yang merupakan sebuah negara yang amat penting dalam mengembangkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu varian Tanah Melayu di persada dunia.\nPada hakikatnya, seawal tahun 1960-an, pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu telah mula membenih di China. Pada tahun 1962, Beijing Foreign Studies University (BFSU) merupakan universiti pertama yang menawarkan kursus bahasa Melayu di negara ini dengan Profesor Wu Zongyu sebagai pengasas dan perintisnya.\nUsaha murni ini menjadi titik permulaan bagi penawaran dan perkembangan kursus bahasa Melayu di China. Hingga kini, institusi pengajian tinggi di seluruh China yang menawarkan Program Ijazah Bahasa Melayu telah mencecah 13 buah, antaranya termasuklah 11 buah universiti dan dua buah kolej.\nSebagai universiti pertama yang membuka kursus bahasa Melayu di China, hingga tahun ini, Jurusan Bahasa Melayu BFSU sudah berusia genap 60 tahun. Dalam lipatan sejarah penubuhannya, Jurusan Bahasa Melayu BFSU telah memberikan sumbangan besar dan bimbingan berharga kepada kemajuan pengajaran dan pengajian Melayu di China. Hal ini terbukti daripada penganugerahan \u201cPangkalan Pengembangan bahasa Melayu di China\u201d kepada BFSU oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada\u00a0 tahun 2014. Yang perlu diberikan perhatian ialah BFSU diiktiraf sebagai universiti China yang satu-satunya menerima anugerah ini.\nJurusan Bahasa Melayu BFSU terkenal dengan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu yang tinggi mutunya. Sejak ditubuhkan, institusi itu telah melahirkan lebih daripada 370 orang graduan unggul yang menceburkan diri dan mencapai kejayaan dalam bidang diplomatik, perniagaan, kewangan, propaganda, akademi dan sebagainya. Di samping itu, Jurusan Bahasa Melayu BFSU juga giat menjalinkan hubungan kerjasama dengan pelbagai pihak di Malaysia untuk bersama-sama membawa pengajian Melayu di China ke satu tahap yang lebih tinggi, di samping mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara China dengan Malaysia yang sudah sekian lama terjalin, antaranya termasuklah Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia ke China dan institusi pengajian tinggi Malaysia.\nPada 20 Jun 1997, Pusat Bahasa Melayu ditubuhkan di BFSU sebagai hasil persetujuan antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan China untuk bekerjasama dalam bidang pendidikan, khususnya tentang pengajaran bahasa Melayu di China. Perasmian pusat ini disaksikan bersama oleh kedua-dua orang Menteri Pendidikan China dan Malaysia pada ketika itu, iaitu Tuan Zhu Kaixuan dan Dato\u2019 Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak. Pada 1 September 2005 pula, Pusat Bahasa Melayu BFSU dinaikkan taraf menjadi Pusat Pengajian Melayu China. Sejak ditubuhkan, pusat pengajian tersebut telah berfungsi sebagai pangkalan kegiatan ilmiah dan pengembangan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu di China.\nPada awal tahun 2007, dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan kerajaan China, Kursi Pengajian Melayu Malaysia\u2013China secara rasminya ditubuhkan di BFSU. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan telah dilantik sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu\u2013China yang pertama. Kursi yang mula berfungsi pada awal tahun 2008 itu berperanan penting dalam memperkenalkan bidang baharu dalam pengajian Melayu, meningkatkan program ilmiah pada peringkat ijazah pertama dan ijazah lanjutan, melaksanakan penyelidikan dan penerbitan, serta membantu penubuhan dan peneguhan program bahasa dan juga pengajian Melayu di institusi pengajian tinggi di China.\nKini, kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri kesembilan sedang berusaha untuk memartabatkan bahasa Melayu di rantau Asia Tenggara secara khasnya dan di arena antarabangsa secara amnya. Warga Jurusan Bahasa Melayu BFSU turut menyertai arus ini dengan melakukan pelbagai usaha termasuklah menghadiri seminar antarabangsa dan memberikan ucapan, menerbitkan bahan pengajaran dalam bahasa Melayu dan banyak lagi. Dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang dianjurkan pada 22 Mei hingga 24 Mei 2022, Profesor Dr. Su Yingying yang mewakili tenaga pengajar China turut memperkenalkan perkembangan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di China kepada dunia.\nDari segi penerbitan, untuk mengisi kekosongan penerbitan bahan pengajaran dalam bidang pengajian Melayu di China, Dr. HanXiao, Profesor Dr. Su Yingying dan Puan Zhang Suhua telah menggubal buku Teras Pemikiran dan Kebudayaan China. Buku ini merupakan bahan pengajaran pertama di China yang mengisahkan kebudayaan China dalam bahasa Melayu. Sejak diterbitkan, buku ini bukan sahaja mendapat sambutan hangat dalam bidang pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di China, bahkan memperoleh pujian tinggi oleh banyak pihak di Malaysia dengan disanjung sebagai \u201cbuku penting dalam pertukaran kebudayaan Malaysia\u2013China\u201d. Dengan bantuan dan jasa baik Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, yang merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, buku ini turut menjadi hadiah kepada Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai tanda kenang-kenangan sebelum ketibaan ulang tahun ke-48 penjalinan hubungan diplomatik China\u2013Malaysia.\nPepatah Melayu berbunyi, \u201cBersekutu bertambah mutu\u201d dan kami yakin dengan usaha bersama-sama kerajaan Malaysia dan institusi pengajian tinggi di China yang menawarkan kursus bahasa Melayu, bahasa ini mempunyai masa hadapan yang lebih cemerlang dan mampu berkembang menjadi bahasa ilmu yang lebih hebat dan sebagai bahasa berwibawa lagi berpengaruh pada peringkat antarabangsa. Hubungan persahabatan China\u2013Malaysia juga akan terus dibelai dan diperkukuh dengan perkembangan pengajian Melayu di China yang menakjubkan.\n\u00a0\nGunung tertinggi Gunung Himalaya,\nSelat tersibuk Selat Melaka;\nChina-Malaysia cerlang budaya,\nPersahabatan dibelai usah diluka." "DBP-MMU Mempergiat Usaha Penerbitan Digital\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nCyberjaya \u2013 Bermatlamatkan ke arah kandungan pendigitalan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meneruskan usaha dalam membina, menyebarkan dan mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu dengan menjalinkan hubungan kerjasama bersama-sama Universiti Multimedia (MMU). Dengan memanfaatkan ruang melalui teknologi, seperti memperbanyak program dan kandungan di pelbagai pelantar dan media sosial, usaha ini adalah seiring dengan Dasar Pendidikan Digital yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melahirkan generasi berdaya saing, terutamanya dalam Revolusi Perindustrian 4.0.\nKunjungan hormat ini diadakan di Universiti Multimedia, Cyberjaya yang disambut oleh Presiden Universiti Multimedia, Prof. Dato\u2019 Dr. Mazliham Mohd Su\u2019ud dan delegasi DBP yang diketuai oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran pada pagi tadi. Antara matlamat kunjungan tersebut adalah untuk berbincang mengenai kerangka kerjasama dan pembangunan kemahiran penerbitan digital dalam kalangan karyawan DBP.\nMenerusi kunjungan tersebut, Prof. Dato\u2019 Dr. Mazliham berkata, MMU amat komited dalam mendukung agenda transformasi digital negara, terutamanya dalam bidang penerbitan. Hal ini dikatakan demikian kerana bidang penerbitan merupakan antara bidang yang amat terkesan dengan transformasi digital tersebut, terutamanya dalam peralihan wahana penerbitan daripada fizikal kepada digital.\nSebagai sebuah universiti yang memfokuskan bidang teknologi, multimedia dan komunikasi, MMU dianggap sebagai rakan kerjasama yang bertepatan untuk merealisasikan usaha tersebut. Menurut Datuk Abang Sallehuddin, MMU dilihat sebagai lubuk dalam industri pendigitalan apabila universiti ini berjaya menjalinkan kerjasama dengan ZTE dalam bidang telekomunikasi 5G dan ASTRO dalam bidang animasi dan kesan visual.\nPada dasarnya, sinergi antara dua hala ini telah bermula pada tahun 2000 apabila MMU terlibat dengan pembangunan Tatabahasa Bahasa Melayu dalam bentuk digital (CD-ROM) melalui Jabatan Bahasa. Oleh itu, Datuk Abang Sallehuddin berkata bahawa antara aspirasi DBP pada masa ini adalah untuk mendigitalkan kesemua bahan penerbitan dan tidak ada lagi bahan penerbitan fizikal pada masa akan datang, seiring dengan hasrat KPM dalam menukarkan format buku teks konvensional yang sedia ada kepada bentuk digital.\nOleh itu, hasrat tersebut merupakan antara usaha DBP melalui Bahagian Buku Sekolah dalam menjadikan buku teks DBP dalam bentuk digital dan interaktif. Mengulas dengan lebih lanjut, Ketua Bahagian Buku Sekolah, Encik Ghani Abu berkata bahawa terdapat beberapa elemen yang harus terdapat dalam buku teks digital tersebut seperti aktiviti interaktif, realiti maya (VR), realiti terimbuh (AR), animasi dan video.\nSebagai usaha untuk merealisasikan usaha tersebut, DBP memerlukan latihan sumber manusia yang meliputi penerbitan bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P), penerbitan rancangan pendidikan (Eduflix), penerbitan kandungan bahan multimedia kreatif dan penulisan skrip kandungan P&P dalam bentuk digital.\nKunjungan ini diteruskan dengan lawatan ke Fakulti Kreatif Multimedia dan Fakulti Seni Senimatik. Turut hadir bersama-sama ialah Ketua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani Omar; Ketua Bahagian Buku Sekolah, Encik Ghani Abu; Ketua Bahagian Multimedia, Puan Naimah Yusof; Ketua Bahagian Buku Sastera, Puan Nurul Julia Alani Henry; Ketua Bahagian Buku Bahasa, YM Tengku Fauziah Ku Mat; Ketua Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, Puan Mariati Josepha Mustafa; Ketua Bahagian Undang-undang, Encik Mohd Isa Sapuan; dan Ketua Bahagian Harta Intelek, Encik Shah Rizal Azwan Ghazali serta pegawai-pegawai DBP." "Graduan Permata Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra\u00a0\u2013\u00a0\u201dUniversiti Malaysia Perlis (UniMAP) sentiasa berbangga dengan semua alumninya, tidak kira di mana-mana\u00a0sahaja mereka berada atau bekerja. Teruskanlah lakukan yang terbaik untuk diri, keluarga dan masyarakat, di samping membawa nama baik universiti ini ke persada dunia dan UniMAP akan sentiasa menyokong mereka semua,\u201d titah \u00a0Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Canselor ketika berkenan berangkat menyempurnakan Sidang Ke-7 Istiadat Konvokesyen Ke-15\u00a0hari ini.\nSeramai 276 orang graduan menerima anugerah daripada Tuanku Raja Muda, yang terdiri daripada pelajar kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) bagi Kejuruteraan Mikroelektronik, Kejuruteraan Elektronik, Kejuruteraan Fotonik, Kejuruteraan Komputer, Kejuruteraan Perhubungan serta Kejuruteraan Rangkaian Komputer masing-masing, bertempat di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.\nDalam istiadat tersebut, baginda turut mengatakan bahawa alumni adalah permata yang amat penting kepada UniMAP. Suara dan pandangan positif daripada mereka merupakan satu daripada bentuk sokongan kepada reputasi universiti ini. Bahkan, mereka juga boleh bertindak sebagai \u201corang tengah\u201d\u00a0antara UniMAP dengan industri, tidak kira sama ada sektor dalam atau\u00a0luar negara.\nTambah baginda dalam ucap akhirnya, \u201cPenambahbaikan kurikulum pengajian fakulti juga boleh disumbang melalui idea dan kepakaran alumni semua. Kembalilah ke UniMAP dari semasa ke semasa, bagi menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang berkemampuan di universiti ini dan sentiasalah menyayangi universiti kita semua ini,\u00a0iaitu UniMAP.\u201d" "Cabaran Pemerkasaan Wanita\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "UniMAP Melahirkan 31 510 Alumni\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra \u2013 Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Tuanku Pro-Canselor berkenan berangkat menyempurnakan Sidang Ke-6 Istiadat Konvokesyen 15 UniMAP di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra pada petang semalam.\nMenerusi sidang tersebut, sebanyak 236 orang graduan menerima anugerah ljazah Sarjana Muda Perniagaan (Kepujian) (Keusahawanan) daripada Tuanku Pro-Canselor.\nDalam majlis tersebut, Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli yang turut hadir bersama-sama Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Md Farishzan Ismail memaklumkan bahawa:\nSehingga kini, UniMAP melahirkan seramai 31 510 alumni justeru Pusat Perhubungan Alumni UniMAP ditubuhkan pada 2020 sekali gus membuktikan inisiatif pihak universiti untuk memberikan fokus terhadap alumni dan memastikan hubungan antara universiti dengan alumni dapat terus diperkasakan untuk pelbagai manfaat\u2019.\nTambah beliau lagi, selepas tamat pengajian, mereka tidak lagi bergelar sebagai pelajar UniMAP. Walaupun demikian, hal tidak bermakna mereka tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan dengan UniMAP tetapi mereka akan diteruskan sebagai seorang alumni." "Selami Kesantunan Qistina\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBertepatan dengan tema Hari Wanita, iaitu \u201cSaksama Bersama\u201d dipilih agar berupaya meningkatkan kesedaran dan kefahaman seluruh Keluarga Malaysia terhadap kepentingan untuk mencapai kesaksamaan bersama, termasuklah golongan OKU. OKU ialah singkatan bagi Orang Kurang Upaya, dan istilah ini dikekalkan selaras dengan Akta Orang Kurang Upaya 2008. Isu yang kini hangat diperkatakan berkaitan dengan golongan OKU yang berjuang membela nasib mereka begitu menyentuh keprihatinan kami, apatah lagi seorang daripada kami mempunyai pengalaman\u00a0 menyantuni dan menangani insan OKU ini.\nDalam dunia ini tiada manusia yang sempurna. Begitu juga dengan orang lain baik pasangan, anak, ahli keluarga atau sahabat. Menyayangi tanpa syarat bermakna kita menerima kekurangan diri sendiri dan orang lain. Setiap orang dikurniakan dengan kelebihan dan kekurangan tersendiri. Terdapat insan OKU yang dilahirkan dengan kecacatan yang mungkin telah berlaku sejak dalam kandungan, namun terdapat juga yang mengalami kecacatan akibat kemalangan, prosedur perubatan dan lain-lain. Kita perlu memahami takdir yang berlaku dan bersama-sama berganding bahu supaya dapat memulihkan keyakinan dan semangat OKU dengan melaksanakan sesuatu yang terbaik untuk mereka.\n\u201cTabik hormat,\u201d itulah permulaan percakapan kami dengan Nur Qistina Arissya Norzie Haslizam, yang berusia 16 tahun. Qistina merupakan remaja OKU sindrom kategori cerdik. Keizinan telah diberikan kepada kami untuk berkongsi kepetahan Qistina dengan kesantunan bahasa yang dituturkan mencuit hati sesiapa yang melihat dan mendengar cara berbahasa Qistina. Beliau mempunyai semangat jati diri, disiplin dan patriotisme serta beradab. Qistina, seorang OKU penghidap penyakit jantung berlubang dan paru-paru sejak lahir dan sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan kerana Qistina bergantung pada ubat setiap hari.\nMenurut pakar perubatan yang menangani kes Qistina, gadis ini cukup istimewa kerana masih mampu bertahan sehingga ke saat ini. Doktor pakar tersebut menyatakan bahawa, Qistina dianugerahkan Tuhan\u00a0 sebagai ujian kasih sayang \u00a0dan cara untuk kita menunjukkan perhatian serta sedaya-upaya membantu memulihkan penyakitnya jika diizinkan oleh-Nya. Menurut nenek Qistina yang juga menjaga dan merawatnya sejak bayi lagi, Qistina merupakan bayi yang mudah dijaga dan menjadi kesayangan semua.\nSifat semula jadi Qistina yang sentiasa optimis menyebabkan dia terpilih menjadi Ikon Pelajar Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia semasa kelas pertuturan untuk kajian pelajar perubatan. \nQistina menghidap penyakit jantung berlubang dan paru-paru. Qistina juga menggemari warna merah jambu. Warna ini baginya menonjolkan dirinya yang sentiasa segar, bertenaga dan cantik. Penetapan minda yang sihat pada setiap hari dan limpahan kasih sayang menjadi penawar kekuatan Qistina hingga ke hari ini. Demikianlah ciri-ciri dan sifat yang ada pada Qistina, walaupun diri dalam serba kekurangan, Qistina begitu berdisiplin, bertanggungjawab, rajin, sopan serta mempunyai tutur kata yang bersopan santun.\nMenurut Datuk Seri Rina Mohd. Harun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, jumlah OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih rendah, iaitu 587 608 daripada anggaran 4.8 juta populasi orang kurang upaya (OKU) di negara ini. Jumlah ini masih kecil berbanding dengan anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu sekurang-kurangnya sebanyak 15 peratus populasi negara adalah dalam kalangan golongan OKU atau 4.8 juta populasi OKU di negara ini. Sudah tentu usaha lebih giat perlu dilaksanakan agar seluruh masyarakat turut membantu mengenal pasti mana-mana golongan yang dikategorikan sebagai OKU dan mereka perlu didaftarkan agar data ini kelak akan dapat menambah baik pelbagai kaedah, pendekatan dan sistem sedia ada kepada OKU.\nSelain itu, anugerah khas turut diberikan bagi mengiktiraf OKU dan pelbagai pihak turut memberikan sokongan kepada pengiktirafan ini. Peluang pekerjaan juga perlu dibuka dengan lebih luas lagi kepada golongan OKU dan yang paling penting mereka perlu disediakan dengan ilmu dan latihan yang mencukupi agar mereka bersedia untuk memberikan sumbangan untuk kepentingan organisasi dan negara. Selain itu, Bahagian Pendidikan Khas yang dilaksanakan di negara ini juga perlu mengambil cakna akan keperluan bidang dan latihan yang memfokuskan kepada minat dan kecenderungan golongan OKU. Dengan cara ini mereka akan rasa dihargai dan lebih mudah untuk kita membangkitkan semangat mereka menempuh kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.\nPerancangan yang teliti dengan mengambil kira pandangan OKU dan merujuk pihak yang mempunyai kepakaran untuk pelaksanaannya kelak, sudah tentu akan merealisasikan hasrat Keluarga Malaysia untuk membina kesejahteraan golongan OKU. Hal ini bagi memastikan keperluan OKU dirancang dengan optimum, isu-isu yang telah berbangkit diselesaikan dengan sempurna dan benar-benar sampai kepada penerima manfaat seperti yang direncanakan.\nGolongan OKU sememangnya mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Seperti Qistina yang begitu cermat dalam tutur bicaranya merupakan contoh golongan yang dilihat tidak sempurna, namun mempunyai kesantunan dalam tutur kata. Kepada Qistina, anda dan seluruh insan seperti anda perlu terus diberikan perhatian oleh masyarakat di negara ini. Akhir kalam, kita renungkan bersama, \u201cUbat yang baik ialah kekuatan emosi dan mental kerana ubat yang dibekalkan sekiranya diambil dengan jiwa kental akan sembuh dengan minda positif, namun jika diambil dengan mental yang kosong, ubat tersebut tidak akan berfungsi dengan baik\u201d. Selamat Menyambut Hari Wanita." "Istiadat Konvokesyen ke-15 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Melabuhkan Tirai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putera \u2013 Istiadat Konvokesyen ke-15 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang diadakan di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putera selama empat hari bermula 5 Mac 2022 melabuhkan tirainya pada petang semalam dengan sidang ke-8 dan terakhir disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Tuanku Pro-Canselor UniMAP.\nDalam majlis ini, seramai 281 orang graduan menerima anugerah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Kepujian) bagi Sistem Elektronik, Reka bentuk Telekomunikasi Elektronik, Reka bentuk Rangkaian Elektronik dan Flektronik Bersepadu serta Diploma Kejuruteraan bagi jurusan Kejuruteraan Pembuatan, Kejuruteraan Metalurgi, Kejuruteraan Mikroelektronik dan Kejuruteraan Komputer.\n\u201cSebanyak lapan sidang diistiadatkan bagi menyampaikan ijazah kepada 2763 orang siswazah termasuklah 107 siswazah antarabangsa. UniMAP turut menganugerahkan empat Anugerah Khas, iaitu Anugerah Pelajaran Diraja, Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Naib Canselor dan Anugerah Kecemerlangan Akademik Program Siswazah selain penerima Ijazah Kehormat dalam sidang pertama,\u201c ujar Naib Canselor, Prof Ts. Dr. Zaliman Sauli.\nRaja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Canselor turut menyampaikan anugerah Ijazah Doktor Falsafah kepada 60 orang siswazah dan anugerah Ijazah Sarjana kepada 117 orang siswazah pada sidang yang pertama.\nSehingga hari ini, sebanyak 98.3 peratus graduan UniMAP telah berjaya mmendapat pekerjaan sama ada dalam sektor swasta, kerajaan atau bekerja sendiri seperti menjalankan perniagaan. Selain itu, ada juga yang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di samping meningkatkan kemahiran diri." "Lantikan Tetap DG41 bagi Guru Interim BI Lulus CEFR C1\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan guru interim bahasa Inggeris (BI) yang memenuhi syarat Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) serta lulus dalam temu duga akan dilantik jawatan tetap sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).\nDalam satu kenyataan KPM hari ini, Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, urusan pengambilan PPP baharu bagi opsyen BI perlu mengambil kira penguasaan BI calon pada tahap mahir, iaitu tahap CEFR C1, bermula tahun ini.\nWalau bagaimanapun, bagi calon yang tidak memenuhi syarat CEFR C1, mereka tetap dipanggil temu duga dalam masa terdekat bagi tujuan lantikan tetap sebagai PPP Gred DG41.\n\u201cMereka perlu mencapai tahap CEFR C1 dalam tempoh percubaan, iaitu satu hingga tiga tahun bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan,\u201d ujar YB Datuk Dr. Radzi seperti yang ditakrifkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013\u20132025.\nJelas beliau, KPM telah menetapkan setiap murid yang melalui sistem pendidikan di Malaysia perlu mahir dan fasih dalam berbahasa Melayu dan Inggeris pada tahap kecekapan berdikari (independent proficiency) berdasarkan CEFR dalam PPPM 2013\u20132025.\nSusulan daripada itu, KPM akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan kompetensi guru BI dari semasa ke semasa bagi memberikan impak kepada pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Hal ini secara langsung dapat meningkatkan tahap penguasaan murid dalam BI seperti yang diaspirasikan berdasarkan piawaian antarabangsa CEFR." "Lantikan Khas Guru DG41 Baharu Lapor Diri pada 4 April 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa sebanyak 4828 guru berjaya dalam pengambilan khas secara sekali beri (one-off) bagi lantikan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG41.\nMenteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pengambilan khas ini akan diumumkan pada 18 Mac ini secara rasminya.\n\u201cSemua guru yang terbabit akan mula melaporkan diri pada 4 April 2022,\u201d kata YB Datuk Dr. Radzi dalam satu kenyataan hari ini.\nSusulan daripada itu, calon yang berjaya ditempatkan boleh membuat semakan di portal e-Graduan KPM." "Pendidik Perlu Kuasai Kemahiran TMK Penuhi Tuntutan PdP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar\u00a0\u2013 Sebagai pendidik, perubahan melakukan anjakan paradigma dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) adalah sangat penting bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara.\nPerkembangan dan perubahan yang drastik dalam bidang pendidikan pada alaf, tatkala menuju fasa endemik Covid-19, proses PdP haruslah berbentuk yang lebih proaktif dan bercirikan pengkomputeran atau penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK).\nDemikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang menekankan kepentingan seseorang pendidik atau pensyarah dalam usaha meningkatkan penguasaan mereka dalam bidang teknologi TMK yang semakin canggih seiring dengan perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 dan Masyarakat 5.0.\n\u201cKualiti pendidikan negara kini lebih diyakini dan mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan pendidikan global,\u201d titah Raja Muda Perlis selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21 000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih.\n\nDalam penyerahan sumbangan yang diagih oleh amilnya, Mohd.\u00a0Faisal Mohd Arshad\u00a0pada pagi tadi, sebanyak\u00a0RM700 diberikan kepada anak kariah Masjid Al-Rahim, Kampung Titi Tok Bandar di Kangar, Perlis.\nTurut bersama-sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd. Nazim Mohd. Noor." "Raja Muda Perlis Merasmikan Pelancaran Latihan Askar Wataniah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBukit Keteri \u2013 Setiap anggota Rejimen Askar Wataniah diseru supaya sentiasa meningkatkan keaktifan diri semasa menghadiri semua latihan dan aktiviti yang dirancang termasuklah berusaha meningkatkan tahap kompetensi dan \u201cS.K.A.\u201d, iaitu \u201cSkill, Knowledge, Attitude\u201c (\u201cKemahiran, Pengetahuan, Sikap\u201c) masing-masing. Oleh itu, tindakan tersebut perlulah disertai dengan perasaan ikhlas dan jujur, dan bukannya bermain di bibir sahaja.\nDemikian titah Raja Muda Perlis, DYTM Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Pelancaran Latihan Askar Wataniah Tahun 2022 yang diadakan di Kem Bukit Keteri pagi tadi.\n\nKeberangkatan tiba baginda yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen yang melaungkan slogan \u201cLatih untuk Perang\u201d itu disambut oleh Panglima Briged ke-30 Infantri Tentera Darat Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Zaki Abu dan Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.\nTuanku Raja Muda Perlis menitahkan bahawa program tahunan tersebut merupakan usaha berterusan pihak rejimen dalam memastikan perkara rejimental dan penglibatan agensi awam sentiasa wujud dalam jaringan kolaborasi strategik dan mobilisasi. Pada masa yang sama, keseluruhan prestasi yang disasarkan oleh rejimen dapat dicapai termasuklah melalui penglibatan dan kerjasama dengan pihak awam. \u201cUsaha ini hendaklah memberikan impak secara maksimum kepada semua pihak terutamanya kepada barisan para perwira, bintara dan satria rejimen tersebut,\u201d demikian titah baginda.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail juga berharap agar semua pihak menunjukkan komitmen yang tinggi dengan menonjolkan tahap disiplin yang tinggi secara berterusan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dalam menangani COVID-19.\n\nHarapan baginda juga agar semua pihak sentiasa memperbaharui azam agar negeri Perlis dan negara ini sentiasa berada dalam keadaan aman dan makmur." "Semarak Membaca, Mendidik Bangsa Berilmu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\nKangar \u2013\u00a0Walaupun tidak banyak penerbit buku yang menyertai Pesta Buku Perlis dan Karnival Pembaca\u00a0Perlis, program ini masih mendapat sambutan dan sokongan orang ramai yang memeriahkan suasana.\u00a0Program anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis ini\u00a0merupakan program yang julung-julung\u00a0kalinya\u00a0diadakan\u00a0dan turut berlangsung di\u00a0Perpustakaan Awam Negeri Perlis.\nYang menariknya, program ini disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis. Pesta Buku Perlis dan Karnival Pembaca\u00a0Perlis\u00a0ini berlangsung selama lima hari bermula pada 25 Jun hingga 29 Jun 2022.\nPelbagai aktiviti telah dirancang bagi memastikan rakyat Perlis tidak melepaskan peluang ke program ini. Antara aktiviti yang menarik termasuklah\u00a0Bengkel Microsoft Word, Bengkel Deklamasi Berkesan, Pertandingan Karaoke, Pertandingan Mewarna, Bual Bicara Penulis Cilik dan Game Show\u00a0Kad ASK. Program karnival ini\u00a0pula \u00a0lebih menumpukan perhatian terhadap\u00a0golongan belia dan pelajar.\nSelain itu, turut berlangsung aktiviti jualan buku, cenderahati\u00a0dan\u00a0makanan, info lawatan sambil belajar, Pameran Mobile Planetarium dan Sudut Permainan Ilmu. Aktiviti Pameran Mobile Planetarium menjadi fokus utama pelajar atau kanak-kanak yang\u00a0hadir dan menarik minat mereka\u00a0untuk turut serta.\nSelain itu, para pengunjung turut diberikan diskaun sebanyak 10 peratus bagi setiap pembelian. Bagi setiap pembelian yang melebihi RM20, pengunjung turut berpeluang memenangi cabutan bertuah. Satu inisiatif yang amat menggalakkan oleh mereka yang terlibat bagi memupuk semangat membaca dalam kalangan rakyat negeri Perlis." "Askar Wataniah Benteng Pertahanan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBukit Keteri \u2013\u00a0\u201cMarilah kita bersama-sama mengekalkan reputasi Askar Wataniah dan dalam masa yang sama tetap terus meningkatkan usaha dalam menggandakan pendaftaran Askar Wataniah,\u00a0khususnya di negeri Perlis ini,\u201d demikianlah titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena perasmian Laman Ikhtiar Hidup R504AW* di Kem Bukit Keteri, Perlis semalam.\nKetika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian laman tersebut, Raja Muda Perlis turut menyeru setiap anggota Rejimen Askar Wataniah agar merapatkan barisan sebagai benteng pertahanan negara dan memberikan jasa bakti kepada negara supaya angkatan yang unggul ini dapat diwariskan kepada generasi akan datang.\nKeberangkatan tiba baginda yang melaungkan slogan \u201cLatih untuk Perang\u201d itu disambut oleh\u00a0Panglima Briged ke-30 Infantri Tentera Darat Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd.\u00a0Zaki Abu.\nSementara itu, Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak memaklumkan bahawa sebelum majlis itu, turut dilaksanakan ialah Perbarisan Pelancaran Latihan Askar Wataniah 2022, Perbarisan Komander, Penyampaian Sijil Op PENAWAR dan juga Penyampaian Sijil Tamat Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS).\nIdea pembangunan laman tersebut diilhamkan oleh Brigedier Jeneral Mohd Zaki\u00a0 manakala Pegawai Waran 1, Muhammad Aris Abdullah mengetuai pasukan yang menjayakan kerja-kerja pembinaan dan pelaksanaannya dengan sungguh baik dan menarik sekali.\n\nTuanku Raja Muda Perlis yang juga merangkap Tuanku Komander turut bertitah,\nDalam menghadapi pelbagai cabaran, janganlah jadikan alasan untuk berfikiran negatif. Pemikiran minda perlu ditukar dengan memberikan komitmen 100 peratus dan menganggap hal ini sebagai semangat dalam merealisasikan visi rejimen.\nOleh itu, buatlah persediaan rapi dalam menghadapi sebarang ancaman konflik serantau, polemik politik yang tidak stabil dan ancaman wabak yang tiada penghujungnya.\nMengakhiri ucapan perasmian, Raja Muda Perlis berharap agar warga rejimen dapat menjayakan aktiviti serta memberikan suntikan moral bagi meneruskan tugas dengan penuh jujur dan ikhlas demi negara Malaysia tercinta kerana merekalah benteng pertahanan negara." "Perjuangan Berbaloi Walaupun Sendirian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSintok- Walaupun keseorangan diri mengikuti pengajian, hal tersebut tidak mematahkan semangat juang Muhammad Azhar Tazirun Ismail, 28 tahun, sehingga berjaya menggenggam segulung Ijazah Sarjana Pengajian Multimedia pada sesi pertama Majlis Konvokesyen ke-33 Universiti Utara Malaysia (UUM) di Dewan Mu\u2019adzam Shah, semalam.\nBeliau merupakan graduan sulung bagi program pengajian tersebut yang baru ditawarkan kepada pelajar pascasiswazah di bawah Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC).\n\u201cSaya tidak menyangka kerana menjadi satu-satunya pelajar yang mengambil program pengajian ini. Ketika berada di bilik kuliah, saya keseorangan tanpa kawan-kawan untuk berbincang atau bergurau senda. Saya juga menyiapkan tugasan secara sendirian walaupun tugasan yang diberikan itu sepatutnya dilakukan secara berkumpulan,\u201d ujar Muhammad Azhar yang menjelaskan bahawa setiap tugasan bertukar menjadi tugasan individu kerana sesi kuliah hanya dihadiri oleh dirinya sahaja.\n\u201cMemandangkan dalam keluarga saya juga merupakan anak tunggal, jadi memang terasa sunyi apabila perlu berjuang seorang diri pada kala jatuh bangun dan suka duka, namun, demi masa depan saya kuatkan semangat bagi mengharungi segala cabaran dengan tunjuk ajar daripada pensyarah yang tidak jemu-jemu membantu,\u201d jelas Muhammad Azhar yang kini bekerja sebagai jurugambar.\nAnak tunggal kepada Ismail Jusoh dan Paridah Omar ini memilih UUM untuk menyambung minatnya dalam bidang multimedia yang kini menjadi kursus pilihan ramai pelajar. Menurut Muhammad Azhar, sebaik-baik sahaja tamat persekolahan, beliau memilih kursus Sarjana Muda Multimedia di UUM sebelum mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian pada peringkat sarjana atas nasihat bapanya.\nJelas beliau, bagi menampung kehidupan di universiti, beliau melakukan kerja sambilan sebagai jurugambar dan membuat kerja suntingan gambar serta video. Muhammad Azhar menganggap dirinya bertuah kerana UUM yang terkenal dengan keindahan flora dan fauna itu menjadi tempatnya untuk merakamkan panorama indah di Taman Rusa, Bukit Kachi, Pokok Tiga Beradik, Tasik Guthrie dan persekitaran kampus lain.\n\u201cDi UUM, saya dididik untuk mewujudkan peluang pekerjaan sendiri dalam bidang keusahawanan, sekaligus menjana pendapatan sebagai persiapan untuk mencari pekerjaan tetap dalam suasana ekonomi yang tidak menentu berikutan pandemik COVID-19. Melalui kesempatan yang diberikan itu juga, saya berpeluang untuk terlibat dalam aktiviti pelajar pada peringkat antarabangsa seperti menyertai kursus fotografi serta peluang keusahawanan dalam program \u201cCreativepreneur Incubator\u201d yang membuka laluan mudah untuk menubuhkan Daeha Photography Enterprise,\u201d jelas anak kelahiran Rantau Panjang, Kelantan ini.\nMerupakan antara 99 orang graduan sulung pada Majlis Konvokesyen Ke-33 bagi sesi pertama yang menerima ijazah sarjana daripada Naib Canselor, Muhammad Azhar merakamkan penghargaan kepada seluruh pensyarah, pengurusan universiti serta kedua-dua ibu bapa yang banyak membantu dan mendoakan kejayaannya menamatkan pengajian." "Buli Siber : Malaysia Kedua Tertinggi di Asia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMenurut laporan dari Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Malaysia menduduki tempat kedua di Asia bagi isu buli siber yang berlaku dalam kalangan remaja pada tahun 2021. Hal ini menunjukkan bahawa kes buli siber semakin mengundang masalah di negara ini. Penggunaan secara meluas platform media sosial telah mencetuskan lagi masalah buli siber dan tingkah laku toksik bukan sahaja dalam kalangan remaja, malah turut melibatkan golongan dewasa.\nHasil kajian mendapati bahawa tingkah laku sedemikian mungkin merupakan manifestasi kesedihan mereka sendiri akibat kehilangan tuntutan teras yang menjadi matlamat hidup mereka.Menurut teori alternatif William Glasser, matlamat ini termasuklah kelangsungan hidup, penerimaan untuk dicintai, disayangi, dan untuk menjadi sesuatu yang bernilai, bertenaga, berdikari, dan disukai. Hal ini juga selari dengan teori keperluan Maslow yang menggalakkan permintaan teras yang serupa.Teori alternatif matlamat yang dibangunkan oleh penganalisis buli siber Amerika, William Glasser itu mencadangkan bahawa semua individu mempunyai lima kehendak asas yang mempengaruhi pilihan tingkah laku mereka dalam kehidupan.\nApabila satu atau lebih daripada kehendak asas mereka tidak dipenuhi, mereka mungkin menjadikan buli siber sebagai teknik untuk memenuhi keperluan matlamat tersebut sehingga kes buli siber bukan sahaja dipromosikan oleh anak muda, malah turut berlaku dalam kalangan orang dewasa.\nPelbagai siri webinar telah dibentangkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menangani kebimbangan yang mempengaruhi masalah buli siber, terutamanya dalam kalangan remaja bawah umur. Antara isi kandungan webinar tersebut menekankan bahawa pelaku buli siber mengalami kadar kesunyian yang lebih tinggi. Hal ini disebabkan oleh kurangnya kasih sayang daripada ahli keluarga dan dipengaruhi oleh budaya sekeliling. Mereka melakukan percubaan untuk mencari perhatian daripada orang yang tidak dikenali terutamanya dalam kalangan pengguna Internet, seperti yang dilaporkan dalam statistik UNICEF.\nSiri webinar yang kerap dijalankan oleh NGO juga membentangkan isu yang sama, iaitu mereka datang daripada keluarga yang bermasalah, selain penerimaan rakan sebaya dan mahukan populariti menyebabkan mereka bertindak \u201cmengambil bahagian\u201d dalam isu buli siber.\u00a0 Kajian telah mendedahkan bahawa pembuli siber lazimnya merupakan individu yang tidak cekap dari segi sosial. Perkongsian webinar berkenaan buli siber itu turut mengetengahkan pengalaman kaunselor yang menangani pelbagai jenis kes buli siber dalam kalangan remaja daripada usia seawal 15 tahun serta cara melibatkan diri dengan sokongan lencana untuk menghentikan gangguan itu daripada terus merebak.\nSeorang pengasas program belia di Selangor dan bahagian lain di Lembah Klang, berkata bahawa dia terpaksa menyamar sebagai pembuli siber remaja bagi mencari jalan untuk membantu remaja lain keluar daripada menjadi seorang pembuli siber. Acara webinar yang diadakan secara maya kini turut dihadiri oleh sukarelawan belia untuk menyebarkan kesedaran sebagai langkah pencegahan masalah buli siber. Sukarelawan yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar kolej dan universiti ini telah memulakan kempen, iaitu dipanggil Nethics yang bertujuan untuk mempromosikan kemudahan media yang sesuai bagi mengelakkan penyalahgunaan Internet. Kempen ini diharapkan dapat memberikan peluang kepada remaja untuk menangani kebimbangan buli siber dan mempelajari etika penggunaan Internet yang betul.\nKempen Nethics juga menyaksikan pelajar menganjurkan WorkSpace, iaitu sebuah forum yang dihoskan pada setiap Januari bagi menekankan keperluan dan kepentingan untuk memupuk penjenamaan maklumat peribadi dan menambah baik identiti dalam talian dengan menggunakan pentas media yang mesra. Menerusi inisiatif tersebut, pakar-pakar kaunselor dan sukarelawan yang berusaha untuk membantu kes buli siber dalam kalangan remaja mengharapkan Malaysia tidak lagi dikategorikan sebagai negara kedua tertinggi di Asia.\nMemandangkan kelakuan buli siber dalam kalangan remaja ini disifatkan sebagai sesuatu yang relatif baharu berbanding dengan kes buli di sekolah dan kolej, diharapkan kerajaan dapat menyediakan langkah pencegahan awal sebagai persediaan untuk penyelesaian tuntas pada masa akan datang." "Wanita Tulang Belakang dalam Pembangunan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar\u00a0\u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dalam sesi Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan ke-20 bagi tahun 2022, menitahkan bahawa peranan dan sumbangan wanita dalam pelbagai bidang wajar sentiasa diberikan sokongan yang padu.\nWanita bukan sahaja berperanan dalam pembentukan generasi akan datang, malah merupakan satu daripada sumber ekonomi yang penting.\nWanita telah lama memainkan peranan aktif di bidang politik negara. Kini, mereka semakin ramai dan diberikan amanah jawatan penting, seperti menjadi ketua dan pembuat dasar demi menyumbang kepada pembangunan negara.\nTitah baginda turut menzahirkan rasa bangga apabila menyaksikan golongan wanita mampu membuktikan dan menyumbang kepada pembangunan negara sejak dahulu lagi.\nTerdahulu, petang semalam baginda berkenan menyampaikan agihan zakat MAIPs bernilai RM700 secara tunai, beras serta bekalan makanan mentah kepada tiga buah keluarga asnaf terdiri daripada Che Haton Din @ Mat Din (84 tahun), Kasim Bakar (84 tahun) dan Ramlah Haji Ismail (72 tahun) di rumah masing-masing.\nMenurut DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra, laporan Perangkaan Demografi Malaysia Suku Tahun Pertama 2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan wanita menghampiri separuh penduduk Malaysia. Jumlah penduduk wanita direkodkan sebanyak 15.92 juta, manakala lelaki sekitar 16.83 juta.\nBerdasarkan laporan yang diumumkan oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Malaysia kini telah\u00a0pun mencapai tahap tiada jurang antara wanita dengan lelaki.\nTambah\u00a0Tuanku Raja Muda,\nPencapaian wanita telah melebihi lelaki dalam sub-indeks pencapaian pendidikan dengan skor sebanyak 1.054. Sub-indeks kesihatan dan kehidupan mencatatkan skor 0.958, diikuti dengan sub-indeks peluang dan penyertaan ekonomi (0.727) dan penguasaan politik (0.106).\nHal ini juga membuktikan bahawa Malaysia sentiasa komited untuk mencapai kesaksamaan jantina dan mempromosikan hak wanita dan kanak-kanak perempuan, serta memperakui akan kepentingan peranan wanita." "Pelihara dan Pulihara Sungai Kita\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Penduduk tempatan yang tinggal sepanjang sungai mahupun dari hulu atau hilir sungai perlulah sentiasa berganding bahu untuk sama-sama membantu meningkatkan kebersihan di sepanjang sungai masing-masing dan tidak membuang sampah sarap ke dalam sungai sesuka hati.\nTanggungjawab buat semua pihak juga perlu ditekankan dalam melaksanakan usaha memelihara sungai daripada tercemar seperti sentiasa membantu mengutip sampah atau kotoran, serta tidak membuang sampah ke dalam saliran sungai.\nDemikian titah perutusan Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DTYM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersempena dengan kempen \u201cPerlis Hebat: Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Tindakan\u201c oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bagi memperingati Sambutan Hari Tindakan Sungai Sedunia yang diadakan pada 14 Mac setiap tahun untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan sungai.\nTambah baginda lagi, \u201cGotong-royong perlulah sentiasa diadakan pada setiap masa dalam usaha untuk memastikan sungai kekal bersih dan terpelihara\u201c.\nBaru-baru ini baginda seisi keluarga meraikan Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-21 anakanda kedua baginda berdua, iaitu Yang Amat Mulia Sharifah Farah Adriana Jamalullail pada 4 Mac dengan cara yang berbeza dengan menelesuri keindahan alam semula jadi Sungai Perlis dari Pengkalan Tok Kuning ke Kuala Perlis dan balik menaiki bot memancing ikan. Berangkat sama ialah Yang Amat Mulia Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Yang Amat Mulia\u00a0 Syed Sirajuddin Jamalullail.\n\nTambah Tuanku Syed Faizuddin Putra,\nMasih tidak terlewat untuk kita memelihara dan memulihara sungai kita, walaupun sebahagian sungai sedia ada mungkin telahpun dicemari, namun usaha untuk memulihara sungai yang tercemar itu masih boleh dilaksanakan dan memulihkan semula sungai-sungai yang telah dicemari, agar ianya pulih dan menjadi pedoman buat generasi masa akan datang dalam memupuk semangat cinta akan sungai." "Rejimen 504 Askar Wataniah Sedia Berjuang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBukit Keteri\u00a0\u2013 Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak mengumumkan Rejimen 504 Askar Wataniah\u00a0kini sudah bersiap sedia bagi menghadapi apa-apa\u00a0juga arahan daripada pihak atasan, terutamanya dari aspek atur\u00a0gerak anggota sukarela dalam operasi teras, operasi murni dan juga meneruskan kesinambungan operasi penawar.\nRaja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada malam semalam berkenan berangkat menyempurakan perasmian \u201cWisma Bintara\u201d Rejimen 504 Askar Wataniah di Kem Bukit Keteri, Perlis, bersempena dengan Majlis Makan Malam Rejimental (MMR) bersama-sama rejimen.\nKeberangkatan tiba Raja Muda Perlis selaku Komander disambut oleh Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak dan Pegawai Waran 1 Muhammad Aris Abdullah.\nKetika awal perasmian, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi berkata, \u201cRejimen 504 Askar Wataniah ini juga berada dalam ruang lingkup melatih anggota sukarela dalam latihan tempatan, latihan berterusan, latihan kem tahunan dan juga latihan afiliasi dengan pasukan setempat.\u201c\nMengulas lebih lanjut dari aspek pentadbiran, Leftenan Kolonel\u00a0Mohamad Zaidi berkata, \u201cRejimen ini akan\u00a0meneruskan aktiviti rutin dan sedang membuat persiapan bagi menjadi tuan\u00a0rumah Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri ke-33 yang bakal mengumpulkan semua komander dari seluruh negara dalam membincangkan hala\u00a0tuju Rejimen Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia pada bulan Oktober 2022 kelak.\u201d\n\u201cPihak rejimen ini juga dalam proses mengemas kini segala peralatan dan perolehan aset baharu yang dijangka akan diperoleh pada tahun ini,\u201d ujar sambil menegaskan bahawa rejimen sentiasa komited dan berpegang pada slogan \u201cLatih untuk Perang\u201d." "Belajar Sesuatu daripada Pandemik COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSeluruh dunia kini berhadapan dengan krisis pandemik COVID-19 yang telah mengorbankan banyak jiwa dan meninggalkan impak yang besar terhadap ekonomi, sosial dan politik.\nNaib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, di sebalik krisis tersebut terdapat pelbagai iktibar dan hikmah yang dapat dijadikan sebagai pengajaran dalam kehidupan.\nPandemik ini juga dapat menyatukan masyarakat di Malaysia tanpa mengira pegangan politik, bangsa, mahupun agama selain mengubah cara manusia melihat masa hadapan, khususnya budaya, persekitaran dan bakat.\n\u201cGraduan perlu menerokai dan menguasai ilmu, serta kemahiran baharu yang bukan terhad kepada ilmu dan kemahiran yang diajar di universiti sahaja, bahkan berfikir di luar kotak.\nUjian ini dapat menjadikan warga UUM lebih berdaya tahan, adaptif, lebih matang dan bersedia menghadapi krisis lain pada masa hadapan.\n\u201cKebergantungan pada teknologi baharu berasaskan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) menyebabkan banyak peluang pekerjaan yang dilakukan oleh mesin berkepintaran buatan. Pandemik ini secara tidak langsung telah membuka ruang kepada graduan untuk mempelajari dan menerokai ilmu serta kemahiran baharu secara dalam talian, sepanjang hayat, tanpa mengira tempat dan masa,\u201d katanya.\nMenurutnya, Laporan Forum Ekonomi Dunia menunjukkan bahawa pembelajaran sepanjang hayat sememangnya semakin penting tetapi COVID-19 secara khususnya telah menjadi pemangkin kepada e-pembelajaran sepanjang hayat, iaitu pembelajaran dalam talian.\n\u201cDalam era pascapandemik, penguasaan ilmu dan kemahiran insani seharusnya ditingkatkan selaras dengan penguasaan kemahiran teknikal. Graduan juga merupakan pemimpin masa depan oleh itu, anda mesti memiliki daya tahan yang jitu, terutamanya ketika mengharungi ketidakpastian demi menentukan destinasi,\u201d ucapnya pada Majlis Konvokesyen Ke-33 UUM sesi kedua, di Dewan Mu\u2019adzam Shah, semalam.\nSelain itu, beliau katanya, UUM merupakan satu-satunya Pusat Penilaian APEL (Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Terdahulu) di kawasan Utara, maka beliau mengajak masyarakat yang tidak memiliki kelayakan ijazah, tetapi mempunyai pengalaman bekerja, untuk mengikuti penilaian APEL.\nJelasnya, APEL ialah proses veri\ufb01kasi pencapaian seseorang individu bagi satu set hasil pembelajaran yang diperoleh melalui pembelajaran formal, bukan formal dan tidak formal tanpa mengambil kira masa dan tempat.\n\u201cTujuan utama pensijilan APEL adalah untuk memberi peluang kepada individu yang tidak dapat mengikuti pendidikan yang lebih tinggi pada awalnya disebabkan kekangan kelayakan akademik, ekonomi atau faktor lain yang mungkin menghalang seseorang untuk meneruskan pengajian terdahulu,\u201d ujarnya.\nTambahnya, UUM merupakan Pusat Penilaian APEL sejak tahun 2018 dan telah menerima akreditasi semula tahun ini oleh Agensi Kelayakan Malaysia dan PPA ini dikendalikan oleh Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE).\nPada sesi kedua ini, seramai 353 graduan menerima ijazah masing-masing yang disampaikan Naib Canselor." "OKU UUM Berjaya Genggam Ijazah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSintok \u2013 Tiada istilah mengalah walaupun dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU). Berbekalkan semangat itu, graduan Sarjana Muda Pengurusan Acara, Muhammad Farid Anuar terus melangkah bagi menamatkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM).\n\u201cSaya juga mahu berjaya dan membuktikan bahawa saya juga boleh belajar sehingga mendapat segulung ijazah.\n\u201cAdik saya, Muhammad Fuad merupakan graduan Sarjana Muda Fizik dan Elektronik dari Universiti Malaysia Sabah, jadi saya juga mahu buktikan saya boleh tandingi dia dan berada di \u2018level\u2018 yang sama dengan dia walaupun saya serba kekurangan,\u201c katanya ketika ditemui pada sesi kelima Majlis Konvokesyen Ke-33 UUM, semalam.\nTerus berjuang melawan penyakit Cerebral Palsy, iaitu kecacatan otak atau otot yang dideritai, Muhammad Farid tidak pernah menjadikan penyakitnya itu sebagai alasan untuk mencipta kejayaan seperti orang lain.\nBerpegang pada prinsip \u201cjangan mengalah sebelum berjuang\u201c dan \u201cusaha tangga kejayaan\u201c anak kelahiran, Muar, Johor itu memilih UUM untuk melanjutkan pengajian setelah mendapati universiti ini menyediakan kemudahan yang kondusif kepada para pelajar OKU dan amalan budaya kecemerlangan ilmiah yang memberikan keselesaan kepada golongan sepertinya.\n\u201cSaya membawa harapan keluarga, sekali melangkah terus ke hadapan dengan penuh yakin, berani dan paling penting jangan peduli kata orang. Saya utamakan reda ibu bapa sekiranya ingin berjaya di dunia mahupun di akhirat.\n\u201cCabaran sebagai pelajar OKU tidak dinafikan terutamanya ketika hendak ke kuliah, perpustakaan, menyiapkan tugasan dan perbincangan dengan rakan-rakan, jadi saya sentiasa menjaga kesihatan dan meletakkan sasaran untuk mencapai impian,\u201c katanya yang menghidap penyakit tersebut sejak berusia sembilan bulan.\nSementara itu, graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat, Thendabani a/l Raja mengakui pengalaman melanjutkan pelajaran ke menara gading cukup bermakna yang menjadikannya lebih berilmu dan berkeyakinan menghadapi dunia luar.\nMenurutnya, menjadi pelajar \u201cistimewa\u201c tidak membuatnya lebih istimewa untuk menuntut ilmu kerana dia belajar sama seperti rakan-rakan lain dan turut menyertai program kemasyarakatan yang dianjurkan oleh pusat pengajian.\n\u201cSaya gembira kerana berpeluang untuk bersama-sama rakan sekuliah lain yang tidak pernah meninggalkan saya, malah pensyarah juga banyak membantu dalam pelajaran sehingga saya berjaya menamatkan pengajian.\n\u201cTerima kasih kepada ibu bapa dan ahli keluarga yang telah banyak memberikan semangat dan dorongan, begitu juga semua pendidik yang bertungkus-lumus mencurahkan ilmu kepadanya dengan penuh sabar dan dedikasi,\u201c katanya yang menghidap penyakit gangguan saraf \u201cdystonia\u201c yang menyebabkan pergerakan otot sukar dikawal.\nKecekalan dua graduan OKU ini turut mendapat perhatian daripada Naib Canselor yang meluangkan masa beramah mesra dengan mereka dan pada masa sama mengucapkan tahniah kepada mereka yang berjaya mendapat ijazah masing-masing.\nSumber foto: Shamsaimi Ezil" "Galakan Minat Membaca demi Kemenjadian Murid\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu\u00a0\u2013 \u201cMembaca Jambatan Ilmu\u201d, demikian peribahasa yang bermaksud amalan membaca dapat membantu untuk menambahkan ilmu pengetahuan. Oleh itu, minat membaca perlulah dipupuk dalam kalangan murid agar murid tampil lebih berpengetahuan dan berketerampilan.\nHal ini dikatakan demikian kerana melalui pembacaan, murid mampu mengembangkan daya fikir dan imaginasi di samping meningkatkan pencapaian bahasa. Kemahiran yang diperoleh melalui amalan membaca juga secara tidak langsung dapat membantu pembentukan kemenjadian murid dalam pelbagai bidang termasuklah bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah.\nMenyedari hal ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah telah menyampaikan wakaf buku kepada pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Buang Sayang, Papar, Sabah pada 16 Mac 2022.\nPenyampaian wakaf buku ini telah disempurnakan oleh Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar di pejabat DBP Cawangan Sabah. Wakaf buku tersebut telah diterima oleh Guru Besar SK Buang Sayang, iaitu Encik Basnih Maidin yang diiringi oleh Penolong Kanan Kokurikulum, Puan Hapsah Haji Marjaman dan Guru Perpustakaan dan Media, Puan Dayang Norlela Ali Omar.\nWakaf buku ini merupakan antara inisiatif DBP untuk menggalakkan minat membaca dalam kalangan murid sekolah. Antara bahan bacaan yang diberikan termasuklah buku dan majalah terbitan DBP yang pastinya akan dapat mempelbagaikan koleksi bahan bacaan di Pusat Sumber SK Buang Sayang.\nPenyerahan wakaf buku ini juga merupakan tanda sokongan DBP kepada Program Galakan Membaca anjuran SK Buang Sayang yang melibatkan murid, ibu bapa dan komuniti setempat." "Aktiviti Sukan dan Kokurikulum\u00a0di Sekolah Dibenarkan Mulai 21 Mac\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Bermula Isnin ini, aktiviti sukan dan kokurikulum di kawasan sekolah adalah dibenarkan.\nMenteri Kanan-Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, \u201cKita ingin memberikan peluang kepada murid dan guru untuk membiasakan diri mereka dengan fasa transisi hidup bersama virus COVID-19 sebelum beralih ke fasa endemik.\u201d\nSelain itu, penganjuran aktiviti, pertandingan atau kejohanan sukan dan kokurikulum juga dibenarkan, namun pelaksanaannya terhad pada kawasan sekolah dan hanya melibatkan warga sekolah berkenaan.\nMenurut YB Datuk Dr. Radzi semasa sidang media selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pagi tadi, setiap guru, jurulatih ataupun pengajar yang terlibat dalam aktiviti secara bersemuka ini hendaklah lengkap divaksin, manakala pelaksanaan aktiviti dalam kawasan sekolah yang melibatkan agensi luar perlu mendapat kebenaran dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).\n\u201cKPM berhak membatalkan sebarang penganjuran atau penyertaan dalam aktiviti atau pertandingan sukan dan kokurikulum sekiranya didapati penganjur tidak mengikut ketetapan,\u201d tegas YB Datuk Dr. Radzi bagi memastikan semua aktiviti sukan dan kokurikulum mematuhi garis panduan Annex Pelaksanaan Aktiviti Sukan dan Kokurikulum serta Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.\nSusulan daripada itu, KPM telah melaksanakan beberapa penambahbaikan pada tatacara pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum di dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.\u00a0Hal ini demikian dikatakan termasuklah membenarkan pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum yang melibatkan individu atau berkumpulan secara bersemuka di kawasan sekolah.\nMengulas lebih lanjut berkaitan dengan ketetapan SOP ini, KPM menyarankan agar pelaksanaan garis panduan ini turut diguna pakai oleh semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuklah institusi pendidikan bawah kerajaan negeri." "Peka Akan Bahasa yang Baik dan Betul Mengikut Konteksnya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nIpoh\u00a0\u2013\u00a0Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Perak menganjurkan\u00a0Program Bual Bicara: Biasakan yang Betul, Betulkan yang Biasa, bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2022 Peringkat Negeri Perak. Program ini disertai oleh wakil jabatan dan\u00a0agensi Kerajaan Negeri Perak, pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan di negeri Perak.\nProgram ini bertujuan untuk memupuk kesedaran tentang pentingnya penguasaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam kalangan masyarakat sama ada dalam bentuk tulisan ataupun\u00a0lisan. Selain itu, program ini adalah\u00a0untuk mengingatkan masyarakat tentang kempen\u00a0DMK\u00a0yang sedang berlangsung dari tahun 2021 hingga tahun 2030. Dengan amalan membacalah masyarakat akan memperoleh ilmu bagi membiasakan perkara yang betul dan membetulkan yang biasa.\nProgram bual bicara yang dipengerusikan oleh Encik Azhar Osman, Ketua Jabatan Akademik, Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh ini menampilkan tiga orang ahli panel daripada tiga kaum,\u00a0iaitu Dr. Norhazlina Husin (UiTM, Shah Alam), Encik Chai Loon Guan (Munsyi Dewan (Bahasa)\u00a0dan Encik Baljeet Singh a/l Piara Singh (SMK Lahat, Ipoh). Ketiga-tiga ahli panel ini terlibat secara langsung dengan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di peringkat IPT, masyarakat awam dan sekolah menengah.\nMereka sependapat bahawa penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul perlu ditanamkan dalam minda anak-anak sejak awal lagi dalam keluarga sebelum dibugarkan pada\u00a0peringkat sekolah, dan seterusnya dimantapkan pada\u00a0peringkat pengajian tinggi. Dengan cara sedemikian, masyarakat yang dilahirkan nanti akan lebih peka terhadap penggunaan bahasa yang baik dan betul mengikut konteksnya.\nEncik Baljeet Singh pula menegaskan bahawa perkara ini tidak mustahil untuk dilaksanakan kerana beliau telah melaksanakannya di sekolah lamanya, iaitu di SMK Tawau, Sabah,\u00a0selama 31 tahun dan kaedah ini memang berjaya meningkatkan penguasaan murid pelbagai etnik terhadap bahasa Melayu. Encik Chai Loon Guan turut menyarankan agar masyarakat pengguna bahasa Melayu membiasakan diri dengan penggunaan bahan rujukan dan kamus seperti Kamus Dewan Perdana\u00a0dan kamus secara dalam talian yang kini hanya berada di hujung jari sahaja, iaitu Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM),\u00a0untuk membetulkan penggunaan bahasa mengikut makna dan konteksnya.\u00a0Sementara itu, Dr. Norhazlina pula mengingatkan masyarakat, khususnya pelajar IPT supaya dapat membezakan antara bahasa rasmi, bahasa slanga serta bahasa pasar agar\u00a0tidak terbawa-bawa ke dalam konteks rasmi.\nProgram bual bicara ini turut dihadiri oleh Encik Rahimi Arifin\u00a0(Pengarah DBPWU)\u00a0dan Puan Suraya Haji Ariffin\u00a0(Pustakawan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak). Program yang berlangsung di Auditorium, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Perak ini turut disiarkan secara langsung di Facebook Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak dan Youtube Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia." "SMK Bandar Saujana Putra Bakal Beroperasi pada Mac 2022 Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJenjarom \u2013 Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin memberikan jaminan bahawa Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Saujana Putra di Kuala Langat akan mula beroperasi pada penggal baharu persekolahan bulan Mac ini.\nPerkara itu diumumkan oleh Datuk Dr. Radzi Jidin selepas menerima penyerahan sekolah daripada syarikat kontraktor utama, Wangsa Delima Sdn. Bhd. dalam Majlis Penyerahan Projek Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Saujana Putra di Jenjarom pada hari ini.\nTurut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof, Ketua Pengarah Pendidikan, Datin Seri Hajah Nor Zamani Abdol Hamid, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Selangor, Datin Nor Faridah A Bakar dan Pengarah Urusan Wangsa Delima, Mohd. Nazri Md. Yusof.\nPenantian lebih 40 000 penduduk di Bandar Saujana Putra bakal berakhir apabila sekolah menengah yang sudah lama dinanti-nantikan akan mula beroperasi pada minggu depan. Pembinaan SMK Bandar Saujana Putra yang terbengkalai sejak Disember 2019 itu dijangka akan menerima kemasukan pelajar dalam kalangan penduduk tempatan dengan kapasiti 1000 orang pelajar.\nDatuk Dr. Radzi Jidin berkata, pembukaan kompleks sekolah pada sesi baharu tahun ini menjadi khabar gembira buat penduduk Bandar Saujana Putra yang sudah menanti infrastruktur itu dibangunkan sejak bertahun-tahun lamanya. Selain itu, sekolah ini juga bakal meringankan beban sebahagian daripada penduduk yang sebelum ini terpaksa keluar pada awal pagi untuk menghantar anak mereka ke sekolah yang terletak 20 kilometer dari kawasan tempat tinggal.\n\u201cSMK Bandar Saujana Putra mempunyai 10 kelas untuk pelajar tingkatan satu, lapan kelas untuk pelajar tingkatan dua, enam kelas bagi tingkatan tiga dan dua kelas untuk tingkatan empat. Manakala, Sekolah Kebangsaan Bandar Saujana Putra pula dijangka siap sekitar September 2022,\u201d ujar Datuk Dr. Radzi Jidin.\nMenurut Datuk Dr. Radzi Jidin, KPM juga akan memfokuskan projek-projek \u201csekolah sakit\u201d atau pembinaan sekolah terbengkalai bagi menyelesaikan masalah kepadatan tinggi dalam kapasiti sesebuah sekolah akibat kekurangan institusi pendidikan. Bahkan, isu ini akan diberi keutamaan oleh KPM bagi menyelesaikan masalah tekanan tinggi yang dihadapi golongan ibu bapa yang terpaksa menghantar dan mengambil anak mereka di sekolah dengan jarak yang sangat jauh pada setiap hari.\nDatuk Dr. Radzi Jidin turut memaklumkan bahawa pihak KPM mempunyai beberapa senarai \u201csekolah sakit\u201d yang dikenal pasti untuk dibaik pulih dan dibina kembali, khususnya di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.\nUjar beliau lagi, isu pembinaan sekolah terbengkalai akan lebih membebankan kerajaan sekiranya dibiarkan terlalu lama tanpa dibaiki kerana membabitkan kos yang lebih tinggi." "Rezeki Ayah dan Anak Berkongsi Pentas Konvokesyen\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSintok \u2013 Kegembiraan berganda! Itulah perasaan seorang ayah dan anak perempuannya yang berkongsi pentas untuk menerima ijazah masing-masing pada sesi ketiga Majlis Konvokesyen Ke-33 Universiti Utara Malaysia (UUM).\nDr. Alias Mat Nor bersama-sama anaknya, Nur Atiqah masing-masing merupakan graduan Diploma Pascasiswazah Pembelajaran dan Pengajaran Pendidikan Tinggi (PGDHELT) dan graduan Ijazah Sarjana Sains (Kewangan) menerima ijazah mereka yang disampaikan Naib Canselor.\nMenurut Dr. Alias yang juga Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), beliau reda apabila dimaklumkan majlis konvokesyen yang sepatutnya berlangsung pada 2020 terpaksa dibatalkan akibat penularan pandemik COVID-19.\n\u201cNamun saya pasti apa-apa yang berlaku ada hikmahnya dan ternyata inilah hikmah di sebalik konvokesyen yang ditangguhkan dahulu apabila saya dapat bergraduasi bersama-sama anak sulung pada hari yang sama setelah dua tahun menanti.\n\u201cRupanya Allah mahu saya konvo dengan anak, berkongsi pentas pada hari yang cukup bersejarah kepada kami berdua,\u201d katanya.\nDr. Alias berkata, cabaran paling besar ialah pengurusan masa dalam menghadiri kuliah, menyiapkan tugasan dan juga kerja hakiki.\nMenurutnya, sebagai orang industri yang sudah berkecimpung lebih 25 tahun dalam perbankan, beliau mesti faham dan tahu akan ilmu sebagai seorang ahli akademik, justeru melalui PGDHELT banyak kaedah dan ilmu baharu diperoleh dan boleh diaplikasikan sepenuhnya dalam bidang tugas.\nSementara itu, Nur Atiqah berkata, peluang memasuki dewan konvokesyen bersama-sama bapanya ialah anugerah yang tidak disangka-sangka dan perancangan Allah yang sangat indah.\n\u201cSaya rasa amat bersyukur kepada Allah kerana berjaya menghabiskan pengajian di peringkat sarjana ini. Semestinya saya gembira dan sangat teruja untuk menghadiri majlis konvokesyen, tambah pula bersama-sama bapa yang juga graduan 2020.\n\u201cSaya berbangga dengannya kerana bapa saya bermula dari bawah dari segi pembelajaran dan pekerjaan, malah dia sentiasa mendorong anak-anak untuk berjaya dalam apa-apa jua bidang yang diceburi.\n\u201cBeliau menjadi contoh kepada saya dan adik-adik untuk terus mencari ilmu meskipun dimamah usia. Bapa saya merupakan penasihat akademik yang terbaik, manakala ibu saya pula kaunselor terhebat dan juga pendengar setia yang sentiasa memberikan bahu untuk bersandar di saat saya menghadapi masalah,\u201c katanya yang memiliki Diploma Akauntansi di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis dan Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam bidang Pengurusan Perniagaan (Kewangan Islam dan Perbankan).\nTambah Nur Atiqah, dia berharap agar kejayaan bersama-sama bapanya itu akan menjadi teladan kepada adiknya untuk turut mengikut jejak langkah mengejar ilmu sehingga ke menara gading.\nSumber foto: Ihsan daripada graduan." "\u201cTuntutan Ilmu Tiada Pengakhirannya\u201d \u2013 Raja Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra \u2013\u00a0Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Konvokesyen kali ke-14 Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Perlis di Dewan Harumanis PTSS Pauh Putra pada pagi tadi.\nDalam ucap awalnya, baginda bertitah,\nBergraduasi bukanlah bermakna berakhirnya misi pencarian ilmu. Usaha menuntut ilmu perlu diteruskan, sama ada secara formal mahupun tidak formal. Menuntut ilmu itu, tiada pengakhiran dan batasannya, malahan merupakan proses sepanjang hayat.\nSehubungan dengan itu, baginda menyeru agar graduan terus berusaha mencari ilmu untuk memperkayakan lagi pengetahuan, lantas menjadikannya sebagai satu budaya yang subur dalam diri masing-masing.\nRaja Perlis turut berpandangan bahawa bergraduasi bukan bermaksud hubungan antara bekas pelajar dengan institusi pendidikan berakhir. Graduan masih boleh menyumbang kepada institusi pendidikan melalui persatuan alumni. \nPara graduan juga boleh berkongsi pengalaman berkaitan dengan pengurusan masa dan kewangan, pembentukan sahsiah diri dan watak mahupun bidang kerjaya sebagai panduan dan inspirasi kepada pelajar lain.\nDemikianlah titah baginda yang mengatakan bahawa alumni merupakan satu daripada medium penting dalam usaha memberikan khidmat pementoran (mentoring) tentang peluang pekerjaan dalam industri dan membuka laluan bagi pelajar untuk menjalani latihan praktikal atau menimba pengalaman bekerja dalam organisasi di tempat alumni berada. \n\u201cOleh itu, sebagai alumni PTSS, tanamkanlah niat dan azam untuk menyumbang sesuatu perkara yang memberikan manfaat kepada\u00a0institusi PTSS dengan cara dan skala yang pelbagai,\u201d titah baginda dalam majlis graduasi yang melibatkan graduan pengajian sesi Disember 2018 hingga Disember 2020. \nMajlis konvokesyen ini turut diiringi oleh baginda Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.\nSementara itu, keberangkatan Raja Perlis dan Raja Muda Perlis disambut baik oleh Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Zubaidah Aman dan Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan.\nPada masa yang sama, Graduan Diploma Pengurusan Acara, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman telah menerima Anugerah DiRaja dan turut menerima biasiswa sejumlah RM2000 daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.\nPada akhir majlis konvokesyen ini, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan, ibu bapa dan waris, serta pendidik di PTSS atas kejayaan yang dikecapi ini. Titah baginda lagi:\nSemoga pengalaman di PTSS ini akan menjadi kenangan terindah dalam hidup para graduan, yang pastinya akan dirindui suatu hari nanti." "Hayati Lima Tunjang Utama Proses Demokrasi Malaysia \u2013 Sultan Nazrin Muizzuddin Shah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPilihan raya merupakan satu daripada elemen yang amat penting di negara yang mengamalkan konsp demokrasi berparlimen seperti di Malaysia. Oleh hal yang demikian, bahan rujukan yang berkaitan dengan proses demokrasi di sesebuah negara juga penting terutamanya yang berkaitan dengan pilihan raya.\nSelaras dengan hal tersebut, buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir yang ditulis oleh Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman dan Dr. G. Manimaran diyakini berfungsi sebagai panduan kepada sesiapa sahaja yang mempunyai peranan dalam proses pilihan raya dan golongan yang ingin mengetahui dengan lebih mendalam tentang sistem dan undang-undang pilihan raya demokrasi di Malaysia. Yang paling penting, sudah pasti buku ini juga berfungsi sebagai panduan kepada pembuat dasar, selain mampu menjadi rujukan penting buat parti politik masing-masing.\nMenyentuh tentang amalan demokrasi di Malaysia, Duli Yang Maha Mulia (DYMM)\u00a0 Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, menitahkan bahawa pilihan raya sememangnya memberikan ruang bagi membolehkan rakyat untuk memilih kerajaan. Gagasan kerajaan pilihan rakyat dan bertanggungjawab kepada rakyat merupakan tonggak utama demokrasi di sesebuah negara. Umum turut mempercayai bahawa kerajaan pilihan rakyat akan menyempurnakan amanah, mentadbir urus sumber dan membelanjakan wang negara dengan mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat.\nDua Negeri Selat, iaitu Melaka dan Pulau Pinang menjadi perintis yang memperkenalkan pilihan raya di negara ini, melalui Pilihan Raya Perbandaran yang diadakan di Kota Melaka dan George Town dari 5 hingga 20 Disember 1857. Hasrat memperkenalkan kaedah memilih kerajaan melalui pilihan raya pernah dirintis oleh Henry Gurney dengan dua tujuan utama, iaitu pertama, sebagai langkah mempersiapkan Tanah Melayu berkerajaan sendiri. Kedua, memenuhi tujuan rakyat yang mahukan demokrasi, sekali gus dapat mengalih sokongan rakyat daripada terpengaruh dengan perjuangan Parti Komunis Malaya.\n\u201cHasrat Henry Gurney tertangguh kerana Raja-Raja Melayu pada ketika itu lebih mengutamakan usaha untuk menamatkan darurat. Semasa berlangsungnya Mesyuarat Kesepuluh Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950, Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah telah menitahkan pandangan bahawa pendidikan yang cukup ialah prasyarat penting sebelum memperkenalkan pilihan raya untuk mengelak tercetusnya kekacauan. Baginda juga mengingatkan bahawa tanpa pendidikan dan pemahaman yang cukup, demokrasi boleh dimanipulasikan oleh pihak yang berkepentingan dan berkesudahan dengan memberikan kuasa kepada pemerintahan bersifat diktator. Walaupun hasrat mengadakan pilihan raya ditangguhkan seketika, pada 27 Julai 1955, Pilihan Raya Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu telah berlangsung untuk memilih 52 orang anggota,\u201c titah Sultan Perak, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, ketika melancarkan buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.\u00a0\nTambah baginda, Persekutuan Tanah Melayu lahir sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat pada 31 Ogos 1957, pada era selepas Perang Dunia Kedua, dalam suasana dunia secara umum menerima hakikat, bahawa memberikan hak kepada rakyat untuk memilih pemimpin melalui pilihan raya, merupakan jantung yang mendenyutkan nadi lantas menghidupkan roh demokrasi. Umum mempercayai bahawa demokrasi dapat mengawal dan membatasi kuasa kerajaan apabila kerajaan yang dipilih rakyat melalui pilihan raya akan lebih bertanggungjawab kepada rakyat.\nSuruhanjaya Reid yang dipertanggungjawabkan untuk menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, memberikan perhatian kepada \u00a0pandangan yang dizahirkan oleh Majlis Raja-Raja dan saranan yang disuarakan oleh pemimpin-pemimpin politik yang mewakili rakyat. Suruhanjaya Reid telah memaktubkan subjek berkaitan dengan pilihan raya dalam Perlembagaan Persekutuan, meletakkan Persekutuan Tanah Melayu berstatus sebuah negara demokrasi. Perkara yang berkaitan dengan pilihan raya terkandung di Bahagian 8, Perkara 113 ke Perkara 120, dan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan; sementara urusan pemilihan anggota Dewan Undangan Negeri terkandung dalam semua Perlembagaan Negeri atau Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.\n\u201cPada asasnya pilihan raya difahami sebagai proses pemilihan umum yang diadakan untuk memilih wakil di Parlimen dan di Dewan Undangan Negeri yang diadakan secara berkala, mengikut selang tempoh yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Dinyatakan, pilihan raya hendaklah dilaksanakan berdasarkan peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang yang berkaitan. Diperakukan pula agar ditubuhkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertanggungjawab memenuhi segala peranan dan melaksanakan segala tugas berkaitan dengan pilihan raya secara bebas dan adil. Sejak tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, disusuli dengan penubuhan Malaysia pada tahun 1963, sebanyak 14 kali pilihan raya umum telah diadakan,\u201c titah DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.\nPilihan Raya Demokrasi Malaysia yang dilancarkan pada hari ini, mengandungi 15 bab dan 760 halaman, merupakan satu dokumentasi yang merekodkan pelbagai aspek pilihan raya, merangkumi sejarah, perundangan, proses, ulasan, pandangan dan saranan.\u00a0 Berlatar belakangkan pengalaman peribadi sebagai seorang pemerhati, kemudiannya terlibat memenuhi peranan dan tanggungjawab Raja Berperlembagaan, DYMM Sultan Nazrin\u00a0 Muizzuddin Shah memilih untuk menyentuh lima perkara. Perkara tersebut adalah seperti yang berikut:\nPertama: Keanggotaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)\nPerkara 114 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan:\n\u201cSuruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, dan hendaklah mengandungi seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima orang ahli lain.\nPerkara 114 (2) menetapkan:\n\u201cPada melantik ahli-ahli SPR, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu SPR yang mendapat kepercayaan awam.\u201d\nDalam menyempurnakan peranan melantik ahli-ahli SPR, dimaktubkan, penegasan mustahaknya diadakan suatu SPR yang mendapat kepercayaan awam. Tiga kata kunci yang ditegaskan secara khusus ialah \u201cmendapat kepercayaan awam\u201c.\nBerpandukan Perkara 114(1) dan 114(2) Perlembagaan Persekutuan, SPR hendaklah berfungsi sebagai sebuah badan yang bebas daripada pengaruh kerajaan mahupun parti-parti politik. Pelantikan anggota-anggota SPR, disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. Yang di-Pertuan Agong semasa melantik anggota-anggota SPR mengambil perhatian peri pentingnya SPR mendapat kepercayaan masyarakat awam. Anggota SPR tidak boleh dipecat daripada jawatan kecuali atas alasan-alasan dan dengan cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan. Beberapa precedent kehakiman, membuktikan SPR memiliki autonomi, bebas dan terlindung daripada campur tangan eksekutif atau parti politik.\nSPR ibarat pengadil yang mengendalikan urusan persaingan antara calon-calon dan parti-parti politik semasa berlangsungnya pilihan raya. Oleh itu, SPR wajib pada setiap masa bersikap berkecuali \u2013 tanpa memihak dan kelihatan secara nyata tanpa ragu-ragu bersikap berkecuali \u2013 tanpa memihak. Atas sifat berkecuali \u2013 tanpa memihak, SPR diberikan amanah dan kuasa untuk memastikan pilihan raya berlangsung, dan kelihatan tanpa ragu, berlangsung secara adil dan bebas; urusan pengundian dipermudahkan, dan rakyat tanpa gentar \u2013 tanpa tekanan \u2013 tanpa takut \u2013 tanpa gusar, bebas dan selesa mengundi secara rahsia.\nDemi memastikan kedaulatan dan kemuliaan takhta pemerintahan tidak tercemar, SPR sebagai badan yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, wajib menjunjung titah ketaatsetiaan dengan menguruskan pilihan raya secara yang boleh dipercayai, bebas dan adil, berkecuali \u2013 tanpa memihak, serta mengamalkan kesaksamaan yang tidak boleh dipertikaikan dan ketelusan yang tidak akan diragui.\nKedua: Pengurusan Pilihan Raya\nIstilah bebas dan adil merupakan dua kata keramat untuk menjamin kesuburan amalan demokrasi. Istilah bebas dan adil, tidak mempunyai definisi yang mudah dan sering kali digunakan secara subjektif. Istilah bebas dan adil, walaupun mudah disebut, tetapi menghadapi piawaian paling rumit dan kompleks untuk dicapai dan diamalkan.\nTerdapat piawaian antarabangsa yang menyediakan garis panduan kriteria bebas dan adil dalam amalan pilihan raya. Istilah bebas dan adil, digunakan secara rasmi dalam dokumen antarabangsa pada tahun 1994, apabila Inter-Parliamentary Union (IPU) menerima pakai Deklarasi Kriteria Pilihan Raya Bebas dan Adil. Pengisytiharan tersebut menegaskan bahawa di mana-mana negeri, pihak berkuasa kerajaan mestilah berasal daripada kehendak \u00a0rakyat\u00a0 yang\u00a0 diterjemahkan \u00a0melalui \u00a0pilihan\u00a0 raya \u00a0yang tulen, bebas dan adil, yang diadakan secara berkala berdasarkan hak mengundi secara bebas, sama rata dan rahsia.\nSecara umumnya, istilah pilihan raya yang bebas dan adil merujuk kepada pilihan raya yang berkala, tulen, bersih, telus serta kompetitif, selaras dengan prinsip-prinsip demokrasi, hak asasi manusia dan keadilan asasi. Pilihan raya yang bebas dan adil membolehkan semua warganegara, parti, calon dan media menikmati hak asasi mereka, merangkumi kebebasan bersuara, berpersatuan, bergerak dan berhimpun; bebas daripada ugutan, bebas daripada tekanan dan bebas daripada keganasan; serta bebas mendapat akses kepada maklumat dan kemudahan media. Pilihan raya yang bebas dan adil memastikan bahawa semua calon dan semua parti bersaing berasaskan layanan yang saksama, berpandukan undang-undang, dalam gelanggang dan padang permainan yang sama rata. Di bawah prinsip ini, perlu ada pemisahan yang jelas antara badan kerajaan dengan parti politik, dan garis panduan yang menetapkan kemudahan awam dan sumber yang tidak boleh digunakan secara tidak adil. Pilihan raya yang bebas dan adil, turut melindungi hak semua rakyat untuk mendapat keadilan, dan hak untuk mengundi secara rahsia.\nUntuk memastikan pilihan raya yang bebas dan adil, para petugas pilihan raya hendaklah berperanan sebagai fasilitator membantu dan memudahkan calon yang berhasrat menawarkan diri mahu bertanding, dan rakyat yang mahu mengundi, bermula daripada proses dan prosedur yang dipermudahkan, begitu juga dalam menetapkan tarikh, tempat dan waktu pilihan raya dilangsungkan. Pilihan raya yang dilaksanakan secara bebas dan adil akan meningkatkan keyakinan pengundi yang diperlihatkan melalui peratusan tinggi rakyat yang turun mengundi. Pelaksanaan pilihan raya yang bebas dan adil akan menjadi penanda aras ketulenan dan kayu ukur kesungguhan budaya demokrasi yang diamalkan oleh sesebuah \u00a0negara. Sesuatu pilihan raya yang dilaksanakan secara bebas dan adil bukan sahaja berjaya meningkatkan keyakinan dan penyertaan rakyat, malah menjadi satu piawaian antarabangsa akan tahap keutuhan hak asasi seseorang warganegara. Cara sesuatu pilihan raya dikendalikan turut mencerminkan tahap pemikiran, tahap intelek, tahap kematangan, tahap meluhurkan perlembagaan dan tahap mendaulatkan undang-undang, juga tahap integriti, keikhlasan dan amalan ketelusan pentadbiran sesebuah negara.\nKetiga: Tanggungjawab Politik\nMemilih kerajaan ialah urusan yang serius kerana nasib rakyat dan negara bergantung pada mereka yang diberikan kuasa untuk membentuk kerajaan. Perkara yang menjadi pertimbangan ketika melakukan pengundian hendaklah berasaskan pemikiran yang rasional berteraskan fakta, bukannya berasaskan sentimen dan emosi. Socrates pernah mengingatkan, \u201cHanya mereka yang berupaya memikirkan isu secara rasional dan mendalam, yang wajar diberikan hak mengundi\u201d. Socrates amat memahami betapa mudahnya calon-calon yang menawarkan diri untuk diundi, mengeksploitasi selera pengundi dengan memberikan penyelesaian yang berbunyi mudah, menjanjikan perkara yang enak didengari telinga. Socrates menyuarakan peringatan akan bahayanya pemerintahan yang diasaskan pada hukum rimba dan demagog (mob rule and demagoguery). Ahli\u00a0 falsafah \u00a0dan \u00a0pengarang \u00a0British, Allan de Botton menganggap kebaikan demokrasi, tertakluk pada ekosistem pendidikan yang berada di persekitarannya.\nTarikh 16 Julai 2019, merupakan satu lagi detik penting dalam sejarah politik negara. Sebanyak 32\u00a0 ahli Dewan Rakyat membahaskan Rang Undang-undang menurunkan had usia layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Ahli-ahli Dewan Rakyat baik daripada parti pemerintah mahupun parti pembangkang, telah mencapai kata sepakat, meluluskan Rang Undang-undang tersebut. Parlimen Malaysia pada peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara, sebulat suara bersetuju dengan cadangan pindaan kepada Perkara 119 (1)(a) dan Perkara 119 (4)(b) Perlembagaan Persekutuan, yang membolehkan mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas untuk didaftarkan secara automatik sebagai pengundi.\nSusulan pindaan tersebut, lebih tujuh juta orang dijangka terdaftar secara automatik sebagai pengundi baharu dalam Pilihan Raya Umum Kelima Belas, meningkatkan bilangan pengundi lebih 50 peratus daripada bilangan pengundi berdaftar semasa Pilihan Raya Umum ke-14. Diunjurkan sebanyak 15 juta atau 66 peratus pengundi berada dalam zon usia 18 hingga 40 tahun; bermakna golongan muda akan memiliki suara politik yang lebih dominan \u00a0untuk \u00a0memilih \u00a0pemimpin \u00a0dan \u00a0menentukan \u00a0kerajaan. Keputusan tersebut hendaklah dilihat bukan sekadar memberikan hak mengundi kepada golongan remaja, tetapi ditafsirkan sebagai peluang yang memberikan kuasa lebih besar kepada anak muda untuk memilih pemimpin dan mencorakkan kerajaan.\nTitah baginda, anak muda perlu dibimbing agar memiliki tahap literasi politik yang berupaya memahami erti dan amalan demokrasi yang sihat lagi membina, memahami sistem kerajaan, sistem pentadbiran, proses pembentukan kerajaan dan elemen-elemen yang wajib dimiliki oleh pemimpin. Anak muda perlu dibimbing untuk memiliki jati diri dan nilai-nilai moral yang betul, berpaksikan undang-undang, menolak rasuah dan sogokan, memiliki kematangan menilai antara yang makruf dengan yang mungkar, arif membezakan antara fakta dengan fitnah, bijaksana mengenali antara permata dengan kaca. Anak muda perlu diberi cukup pendedahan dan pengetahuan mengenai elemen-elemen kenegaraan dan tatanegara. Untuk itu, pembentukan sahsiah dan jati diri perlu dipupuk dan dijadikan komponen dalam kandungan pendidikan negara.\nKeempat: Tanggungjawab Membina Negara-Bangsa\nNegara-bangsa ditakrifkan sebagai negara berdaulat yang didiami oleh sesuatu bangsa. Perjuangan membentuk sebuah negara merdeka, Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia yang berdaulat dirintis melalui gabungan aspirasi dan usaha bersama pelbagai pihak, merentasi wilayah, negeri, darjat, agama, kaum dan budaya. Ketika Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan sebagai sebuah negara merdeka pada 31 Ogos 1957, disusuli dengan Malaysia pada 16 September 1963 yang dilahirkan ialah sebuah negara baharu yang mempunyai kedaulatan ke atas warga dan wilayah yang ditetapkan tetapi bukannya bangsa. Membina negara-bangsa ialah proses yang kompleks\u2013proses yang rumit\u2013proses yang berterusan\u2013proses yang masih dirintis, proses yang masih menghadapi pelbagai cabaran dan sangat dibimbangkan cabaran yang dihadapi dalam usaha membina negara-bangsa yang teguh bersatu\u2013kukuh berpadu, kini menghadapi ujian lebih besar dan bertambah rumit. Semakin bertambah usia negara, warga bagaikan semakin terpisah.\nMemupuk perpaduan antara warga yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, kaum, budaya dan taraf sosioekonomi merupakan agenda besar lagi penting demi kelangsungan sebuah negara yang aman, stabil, harmoni dan sejahtera. Isu-isu sensasi yang menyalakan bara perkauman serta meniupkan sentimen agama yang dieksploitasi dalam hasrat meraih undi semasa berkempen, laksana racun yang mengembalikan bisa pertelingkahan, dan pastinya menambahsulitkan usaha untuk penyatupaduan; malah akan lebih memisahkan dan merenggangkan hubungan warga yang berbilang latar belakang, sekali gus membatalkan (nullify) apa-apa juga usaha yang telah dicapai untuk membina sebuah negara-bangsa yang stabil, aman, makmur lagi sejahtera.\nTanggungjawab besar memastikan pilihan raya tidak menjadi medan pencetus yang boleh menggugat kestabilan negara dan menjejaskan keharmonian warga, terletak di bahu barisan pimpinan kafilah semua parti politik. Negara-bangsa yang stabil, aman, makmur lagi sejahtera, lebih besar nilainya dan tidak harus dileburkan dengan pendekatan politik yang memilih untuk berkerat rotan\u2013berpatah arang sehingga akhirnya nanti yang menang menjadi arang\u2013yang kalah menjadi abu.\nKelima: Majlis Raja-Raja\nPilihan raya diadakan bukan sahaja untuk memilih ahli-ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan pada peringkat persekutuan, malah turut diadakan untuk memilih ahli- ahli Dewan Undangan Negeri untuk membentuk kerajaan pada peringkat negeri. Meskipun SPR ialah badan yang ditubuhkan pada peringkat persekutuan, namun urusan pilihan raya pada peringkat negeri turut dikendalikan oleh suruhanjaya yang sama. Oleh itu, amatlah relevan untuk Majlis Raja-Raja dirunding oleh Yang di-Pertuan Agong dalam urusan melantik Pengerusi dan ahli-ahli SPR.\nInstitusi Raja bukan sebuah entiti berbentuk ornamen hiasan untuk menyempurnakan peranan bersifat upacara atau ceremonial. Institusi Raja ialah entiti yang termaktub\u00a0 dalam Perlembagaan untuk memenuhi amanah dan menyempurnakan peranan mekanisme semak dan imbang, mengimbangkan pelbagai perkara yang diangkat sembah untuk pertimbangan takhta. Sejak zaman-berzaman dan secara tradisi, takhta menjadi tempat rujukan dan tempat rakyat jelata memohon perlindungan dan mendapatkan keadilan. Takhta secara bijaksana, adil dan saksama perlu memberikan ruang untuk mendengar suara dan menimbangkan rintihan semua pihak. Takhta mengamati secara teliti dan dinamik politik yang berlaku dan berpendirian amat perlu menetapkan paksi yang mengupayakan takhta melakarkan ruang peranan yang relevan dalam era semasa agar takhta dilihat berperanan adil dan saksama oleh rakyat jelata, dan agar takhta kekal dinamik serta bertenaga untuk menangani tuntutan dan keperluan warga, terutamanya dalam memenuhi peranan sebagai mekanisme semak dan imbang serta instrumen kesatuan dalam kepelbagaian. Oleh hal yang demikian, bersama Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-Raja wajib memenuhi tanggungjawab yang diperuntukkan dalam perlembagaan untuk memastikan SPR mendapat kepercayaan awam.\nDYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut menitahkan bahawa rakyat kini semakin terpelajar, semakin memiliki tahap literasi yang tinggi kerana semakin terdedah kepada pelbagai sumber pengetahuan dan semakin mudah mendapat akses kepada maklumat. Rakyat tidak lagi mudah memamah berita dan meneguk cerita. Dalam menghadapi senario semasa dan menuju ke hadapan, adalah penting untuk dibina persefahaman dalam semangat saling memahami \u2013 saling menghormati antara institusi takhta yang diwakili oleh Raja-Raja Pemerintah dengan institusi rakyat yang diwakili oleh cabang perundangan dan cabang eksekutif, di samping peranan cabang kehakiman yang bebas daripada sebarang pengaruh kuasa eksekutif, mengolah formula yang mendapat kepercayaan awam dalam urusan pelantikan pengerusi dan ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, di samping memastikan pilihan raya diuruskan secara bebas \u2013 secara adil, dan tanpa ragu turut kelihatan diuruskan secara bebas \u2013 secara adil.\nPilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir merupakan penerbitan yang dihasilkan oleh Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman bersama-sama Dr. G. Manimaran. Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman telah menyuratkan apa-apa yang tersirat, mendokumentasikan pengetahuan tersirat (tacit knowledge) berasaskan pengalaman lebih 30 tahun berkhidmat di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bermula sebagai setiausaha, kemudiannya sebagai Pengerusi SPR, dan pasca Pilihan Raya Umum ke-14 dipertanggungjawabkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya, sementara Dr. G. Manimaran pula ialah wartawan yang berpengalaman membuat liputan politik dan pilihan raya sejak tahun 1991 dan juga dilantik oleh Kerajaan Malaysia sebagai ahli Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya.\nDYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut bertitah bahawa penerbitan yang dihasilkan ini, bertujuan untuk mengilmukan rakyat supaya lebih berpengetahuan dan memahami peranan mereka sebagai pengundi.\n\u201cSedarilah kejayaan mahupun kegagalan sesebuah kerajaan bermula dengan sikap, budaya, nilai, serta harga diri yang mempengaruhi pertimbangan pengundi ketika memilih pemimpin. Semoga penerbitan ini menjadi sebahagian daripada bahan rujukan yang dapat membantu mencelikkan mata hati para pengundi,\u201c demikian titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menzahirkan penghargaan atas usaha Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman dan Dr. G. Manimaran, serta Penerbit Universiti Malaya.\n\u00a0\n(Disesuaikan daripada titah DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, bersempena dengan Majlis Pelancaran Buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir, pada 21 Mac 2022, bertempat di\u00a0 The Majestic Hotel Kuala Lumpur.)" "Hari Pertama Persekolahan Sesi 2022 Bermula dengan Lancar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHulu Kelang \u2013 Seawal 7:00 pagi, guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Hulu Kelang telah bersedia di pintu pagar sekolah untuk menyambut kedatangan murid-murid. Murid-murid SK Hulu Kelang kelihatan riang dan bersemangat semasa hadir ke sekolah untuk memulakan sesi persekolahan 2022. Ibu bapa hanya dibenarkan menghantar anak-anak mereka sehingga di pintu pagar sekolah sahaja.\nSesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid-murid SK Hulu Kelang berjalan dengan lancar mengikut sistem penggiliran yang ditetapkan. Murid-murid prasekolah, tahun 1, tahun 2 dan\u00a0 tahun 6 dikehendaki hadir penuh tanpa penggiliran manakala murid-murid tahun 3, tahun 4 dan tahun 5 hadir mengikut penggiliran kumpulan A dan kumpulan B.\u00a0 Murid-murid juga diingatkan agar tidak hadir ke sekolah sekiranya mempunyai gejala seperti demam, batuk dan selesema.\n\nMenurut seorang murid Tahun 2 Intelek, Nurul Irdina Balqis Windra, dia dan abangnya bangun awal pada hari ini kerana hendak ke sekolah. Jelasnya lagi, dia ingin berjumpa dengan guru-guru dan rakan-rakannya. Dia mahu belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya dalam pelajaran.\nGuru Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Khairah Duru Laman berharap agar murid-murid dapat menjalani sesi pembelajaran 2022 ini seperti yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). \u201cPihak sekolah sentiasa berusaha untuk memastikan keselamatan murid-muridnya terjaga. Mereka dikehendaki menjaga penjarakan sosial, memakai pelitup muka, mencuci tangan dengan kerap untuk mencegah penularan jangkitan COVID-19,\u201d jelas Puan Khairah. Tambah beliau, Peraturan dan SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa diikuti bagi mengekang berlakunya jangkitan.\n\nSementara itu, seorang lagi guru SK Hulu Kelang, Puan Wang Lock Hui berkata, \u201cSaya bersyukur kerana pada tahun ini, murid-murid dapat mengikuti PdP secara bersemuka. Persediaan yang rapi telah dibuat oleh pihak sekolah bagi memastikan murid-murid yang hadir ke sekolah dapat belajar dalam suasana yang kondusif dan selesa. Guru-guru telah bergotong-royong membersihkan kelas seminggu sebelum memulakan sesi persekolahan.\u201d Beliau berharap, anak-anak didiknya dapat menimba ilmu dan belajar bersungguh-sungguh agar dapat menjadi warganegara yang baik dan berbakti kepada negara pada suatu hari kelak.\nSK Hulu Kelang mempunyai murid sebanyak 860 orang dan 46 orang guru. Sebahagian kecil muridnya terdiri daripada orang asli yang tinggal di kawasan pedalaman Kampung Kamensah. Sekolah ini juga terkenal dan tidak asing namanya dalam kalangan peminat filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Suatu ketika dahulu, SK Hulu Kelang pernah menjadi lokasi penggambaran filem Masam-masam Manis lakonan P. Ramlee. Sehingga hari ini, bangunan yang dijadikan lokasi penggambaran filem itu masih kekal\u00a0terpelihara. Difahamkan bahawa sekolah ini antara sekolah yang tertua di kawasan Ampang. SK Hulu Kelang dibina bagi menyediakan keperluan pendidikan untuk anak-anak penduduk setempat.\nMurid-murid sekolah ini diharapkan dapat menuntut ilmu sehingga berjaya ke menara gading. Semoga kejayaan sentiasa menjadi milik murid-murid SK Hulu Kelang.\u00a0 Dalam usaha menghadapi wabak COVID-19 pula, murid-murid perlulah mematuhi SOP yang ditetapkan agar mereka dapat belajar dalam keadaan yang selamat dan sejahtera." "Panglima 6 Briged Infantri Malaysia Mengadap Raja Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Panglima 6 Briged Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Akib Haji Yusof merafak sembah kepada Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Balai Menghadap Biru Istana Arau tengah hari tadi.\nSewaktu berkhidmat dalam Kor Peninjau DiRaja yang kini dikenali sebagai Kor Armor DiRaja pada era 1960-an, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang mempunyai pengetahuan yang luas dalam ilmu ketenteraan pernah menempuhi pelbagai pengalaman yang mencabar sebagai seorang pegawai tentera. Antaranya termasuklah menghadapi ancaman pengganas komunis, konfrantasi dengan Indonesia dan juga Peristiwa 13 Mei 1969.\nTurut mengiringi baginda dalam majlis tersebut ialah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Pasukan Simpanan Tentera Darat. Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.\nBrigedier Jeneral Mohd Akib Haji Yusof merupakan lulusan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT), Course 27/98 di HEIGATE, Kuala Lumpur pada tahun 1998 dan lulusan Joint War College, Ecole de Guerre, France pengambilan ke-25 pada sesi 2017/2018. Pada peringkat pengajian tinggi pula, beliau ialah pemegang Diploma Pengajian Strategik dan Pertahanan dari Universiti Malaya.\nManakala pada peringkat Antarabangsa, beliau pernah bertugas dalam misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu bersama MALBATT I (19 RAMD Mekanize), MALBATT || (7 RRD Makenize) dan MALBATT III (7 RAMD) dalam misi United Nations Operations in Somalia (UNOSOM II) bermula Jun 1993 hingga awal tahun 1995. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai United Nations Military Observer (UNMO) dalam misi United Nations Military Operation in Liberia (UNMIL) sejak Januari 2013 hingga Januari 2014.\nBuku Memoir Tentera Darat Malaysia di Somalia yang telah diterbitkan oleh Markas Tentera Darat pada Disember 2002 merupakan hasil karangan Brigedier Jeneral Mohd Akib Haji Yusof." "Jenayah Tidak Mengenal Usia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nApakah rasanya digelar penjenayah ketika usia masih muda? Apakah ada rasa kesal dalam diri mereka? Tahukah betapa besarnya implikasi yang bakal ditanggung sepanjang hidup mereka? Bagaimanakah pula dengan nasib dan masa hadapan mereka?\nUmum mengetahui bahawa negara kita pernah dikejutkan dengan pelbagai jenayah yang dilakukan oleh golongan remaja. Antaranya termasuklah tindakan seorang remaja berusia 18 tahun yang mencampak bayi yang baru dilahirkannya dari sebuah pangsapuri; tiga orang remaja disyaki dengan dakwaan cubaan membunuh seorang pegawai sukan di Terengganu; kes seorang remaja berusia 16 tahun yang bertindak merompak sebuah kedai; kes rogol melibatkan remaja bawah umur yang semakin meningkat di Kelantan; peningkatan kes gaduh, rogol, dan curi di Johor; kes buang bayi dengan purata 10 kes dicatatkan berlaku dalam tempoh sebulan, dan yang terkini seorang remaja disyaki membunuh dengan menikam bayinya sendiri selepas melahirkan bayi berkenaan.\nTidak terkecuali, kes jenayah dalam kalangan remaja yang berlaku di luar negara apabila kita turut dikejutkan dengan jenayah berat yang dilakukan oleh mereka. Ada juga dalam kalangan mereka yang secara terbuka mengakui bahawa tiada penyesalan terhadap jenayah yang dilakukan. Misalnya, di India, pada tahun lalu seorang remaja lelaki bersama-sama ibunya ditahan pihak berkuasa selepas memenggal kepada kakak kandungnya. Di Rusia, seorang remaja berusia 17 tahun dibunuh rakan sekelasnya disebabkan mangsa dikatakan \u201cterlalu cantik\u201d. Di Indonesia pula, seorang remaja membunuh rakannya selepas kalah bermain futsal.\nMeskipun kes jenayah melibatkan remaja di negara ini tidak sekejam berbanding dengan jenayah yang dilakukan oleh remaja di luar negara, namun hal itu tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang melegakan. Sebaliknya, sebelum nasi menjadi bubur, usaha perlu dilakukan untuk mengenal pasti punca dan cara penyelesaiannya agar peningkatan kes jenayah dalam kalangan remaja dapat dikurangkan.\nPeningkatan kes dalam kalangan remaja ini sesungguhnya amat membimbangkan. Hal ini dikatakan demikian kerana perbuatan jenayah dalam kalangan remaja sudah pastinya memberikan implikasi yang besar terhadap negara. Meskipun ada yang melihat jenayah mereka sebagai \u201camukkan darah muda\u201d atau respons langsung masyarakat yang menyatakan bahawa mereka budak-budak lagi, mereka tidak tahu apa-apa, maka mereka tidak boleh dipersalahkan 100 peratus, namun apa-apa pun alasannya, jenayah tetap jenayah walau siapa pun yang melakukannya.\nMenurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat lebih 10 kesalahan yang direkodkan berhubung dengan pelibatan dan tangkapan juvana dalam jenayah indeks Malaysia bagi tahun 2016 hingga 2020. Kesalahan tersebut termasuklah curi motosikal, kes curi, rogol, samun berkawan tanpa bersenjata api, mencederakan, curi motosikal, samun tanpa senjata api, bunuh, curi ragut, curi van/lori/jentera berat, dan samun berkawan bersenjata api.\nMenurut PDRM, trend dan statistik jenayah melibatkan kanak-kanak dan remaja sama ada mereka menjadi mangsa atau pelaku jenayah di negeri ini agak membimbangkan. Ketua Polis Johor (ketika itu), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menjelaskan bahawa antara kesalahan jenayah yang tertinggi membabitkan pelajar adalah berkaitan dengan kes curi, mencederakan orang, pecah rumah, rogol dan samun. Beliau berkata, biarpun statistik menunjukkan tangkapan yang melibatkan pelajar sekolah dalam indeks jenayah menurun, namun jumlah itu masih membimbangkan.\n\u201cSebanyak 95 peratus pelaku jenayah dalam kalangan pelajar ialah lelaki, manakala selebihnya melibatkan pelajar perempuan. Bagi kes jenayah yang dilaporkan, sebanyak 58 peratus mangsa ialah pelajar perempuan, manakala sebanyak 42 peratus ialah pelajar lelaki. Hampir 99 peratus pelaku jenayah dan mangsa merupakan pelajar sekolah menengah yang berusia lingkungan umur 13 hingga 18 tahun,\u201d katanya.\nBerdasarkan statistik tersebut, didapati jumlah kes juvana di negara ini untuk tempoh empat tahun (2016 \u2013 2020) menyaksikan penurunan yang amat ketara, iaitu daripada 7825 kes pada tahun 2016, meningkat kepada 8118 kes (2017), kemudian menurun dengan ketara, iaitu sebanyak 6713 kes (2018), 5669 kes (2019), dan 1839 kes (2020).\nDaripada jumlah itu, pelibatan dan tangkapan juvana dalam jenayah indeks Malaysia menyaksikan etnik Melayu mencatatkan jumlah yang tertinggi, iaitu sebanyak 21 735 orang, Cina (1757 orang), India (4602 orang), etnik Sabah dan Sarawak (2708 orang), orang asli (137 orang, Sikh (18) dan lain-lain bangsa (324 orang).\nBanyak punca yang dikaitkan dengan keterlibatan remaja dalam jenayah, antaranya termasuklah faktor rakan, terpengaruh dengan media sosial, desakan hidup, kurang didikan agama, persekitaran keluarga, dan sikap ingin menguasai yang menebal dalam diri remaja tersebut. Menurut Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, usaha menangani peningkatan kes dalam kalangan remaja perlu dilakukan dengan pelibatan lebih ramai remaja dalam kelab antijenayah dalam usaha memberikan pendedahan kepada golongan itu tentang keburukan melakukan jenayah di samping menggalakkan mereka untuk melakukan kebaikan.\nTambahnya, kempen kesedaran terhadap kes jenayah juga harus didedahkan pada peringkat awal usia bagi mengelakkan remaja daripada terjerumus dalam perbuatan jenayah seperti penyalahgunaan dadah.\n\u201cDengan kes penyalahgunaan dadah yang semakin berleluasa, ibu bapa harus memainkan peranan sepenuhnya dengan perlu bijak dalam mendidik anak-anak mereka agar tidak terjerumus dalam kebejatan sosial seperti penyalahgunaan dadah,\u201c ujarnya. Tambahnya lagi, ibu bapa juga perlu memberikan pendidikan agama sejak kecil supaya anak menyedari setiap perkara yang dilakukan sama ada betul ataupun salah. Dalam hal ini, ibu bapa dan ahli keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam menjaga sahsiah anak dan wajib mengetahui rakan dalam kehidupan anak mereka melalui media sosial mereka.\nMenerusi media sosial, ibu bapa boleh menjadi sebahagian daripada senarai rakan anak mereka. Ibu bapa juga berperanan penting dalam memantau pergerakan anak mereka. Ke mana mereka pergi, pukul berapa mereka keluar dari rumah dan pukul berapa mereka wajib pulang ke rumah. Jangan sesekali memberikan kebebasan 100 peratus kepada anak untuk menentukan apa-apa yang hendak mereka lakukan.\nPada Disember lalu, Instagram mengumumkan bahawa laman sosial itu akan melancarkan ciri keselamatan baharu bermula Mac 2022. Dalam pengumuman tersebut, Instagram akan menyediakan ciri khusus untuk ibu bapa mengawal akaun anak mereka dengan cara mereka dibenarkan melihat jumlah masa yang diluangkan oleh anak mereka di Instagram; ibu bapa boleh menetapkan had masa penggunaan dan menerima pemberitahuan jika mereka ada melaporkan tentang pengguna lain; dan ibu bapa juga mempunyai kuasa untuk menetapkan masa penggunaan aplikasi itu, iaitu sama ada selama tiga jam, dua jam, satu jam, 45 minit atau 30 minit.\nSelain itu, Instagram juga sedang membangunkan hab pendidikan untuk ibu bapa dan penjaga. Sudah tiba masanya semua pihak harus berganding bahu untuk melindungi golongan remaja daripada sebarang unsur yang bakal mendedahkan mereka kepada jenayah. Langkah yang diambil mungkin nampak mudah, tetapi impaknya pasti ada \u2013 menyelamatkan mereka daripada jenayah yang tidak mengenal usia." "Raja Perlis dan Program KPTD\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menerima sembah hormat daripada Pegawai-pegawai Kanan Kor Polis Tentera DiRaja (KPTD) Malaysia di Balai Menghadap Biru Istana Arau semalam.\nDalam titah Raja Perlis yang merupakan lulusan Akademi Tentera DiRaja Sandhurst (RMAS) dari United Kingdom dan kini ialah Kolonel Yang DiPertua Kor Rejimen Renjer DiRaja (RRD) serta Kor Polis Tentera DiRaja Malaysia, baginda dipersembahkan hal-hal berkaitan dengan perkembangan terkini KPTD, selain dipersembahkan cadangan kalendar aktiviti yang melibatkan keberangkatan baginda ke program kor tersebut bagi tahun ini.\nBerangkat sama mengiringi Tuanku Raja ketika menyembah hormat ialah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia yang berpangkalan di Kem Bukit Keteri Perlis.\nPada masa yang sama, delegasi tersebut diketuai oleh Ketua Provos Marsyal Angkatan Tentera Malaysia Brigedier, Jeneral Dato\u2019 Haji Mislan Anuar yang juga merangkap Pengerusi KPTD.\nTurut hadir bersama-sama dalam delegasi tersebut ialah Provos Marsyal Darat Brigedier, Jeneral Azman @ Norazman Selamat; Pengarah KPTD Brigedier Jeneral, Abd. Wahab Geoh, Komandan Institut Pegawai Kanan (INSPEKA) Tentera Darat; Brigedier Jeneral, Inderjit Singh a/l Bachan Singh dan Pengarah Undang-Undang, Markas Tentera Darat \u2013 CSM, Kolonel Noor Hishmuddian Rahim." "Tanggungjawab Penggiat Seni Memanusiakan Manusia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSeni budaya merupakan satu daripada cabang kepada penggalakan keutuhan sesebuah negara, namun hal ini sering kali dianggap sebagai suatu yang remeh kerana kebanyakan masyarakat berpendapat bahawa bidang ini tidak membawa kepada kemajuan dan pembangunan material negara. Walau bagaimanapun, tanggapan sebegini perlu dihentikan secepat yang mungkin agar kesemua aktiviti atau program seni dan budaya, pembangunan dan kemajuan material dapat dilaksanakan dengan skala yang besar serta penuh rasa tanggungjawab.\nPenulisan naskhah sastera, penggubahan lagu dan pembikinan filem atau drama perlu dilaksanakan berlandaskan nilai moral kerana setiap individu yang berada dalam bidang seni dan budaya ini adalah seniman. Maka itu, amat wajar bagi seseorang seniman itu kembali kepada asas seni dan budaya seperti memperkasakan moral dan memanusiakan manusia dalam karya-karya mereka.\nLambakan karya picisan hanya akan menjatuhkan kredibiliti nilai seni itu sendiri, sedangkan seni adalah asas kepada pembinaan jati diri yang ampuh.\nSecara umumnya, masyarakat mudah terpengaruh dengan karya-karya yang dihamparkan kepada mereka dan akan menjadikan sesebuah karya itu sebagai rujukan dalam menjalani kehidupan seharian. Tambahan pula, terdapat segelintir penggiat seni yang sanggup memenuhi selera masyarakat kini yang menginginkan karya-karya berbentuk mudah dan ringan serta tidak memerlukan pemerahan akal.\nNamun begitu, tanggungjawab kekal sebagai tanggungjawab. Sesebuah karya tidak boleh terlalu mengikut arus budaya popular kerana kesannya boleh merosakkan pemikiran masyarakat. Bukankah seni itu adalah satu kaedah pendidikan dan penerapan propaganda kebaikan?\nDewasa ini, banyak sekali karya berupa drama mahupun filem diadaptasikan daripada karya penulisan. Ini adalah suatu perkembangan yang baik kerana secara tidak langsung boleh meneruskan kesinambungan sesuatu karya penulisan itu ke dalam paparan visual, namun sesebuah karya yang diadaptasi daripada novel perlu mempunyai kualiti dan membina akal budi masyarakat.\nSekiranya hanya karya yang berunsurkan percintaan atau bermodalkan perkara yang ringan semata-mata, nescaya akan menyebabkan kelahiran masyarakat yang materialistik, bernafsu dan malas berfikir.\nPembinaan sebuah negara yang berdaya saing dan maju bermula daripada tahap keintelektualan masyarakatnya. Apabila sesebuah masyarakat itu mempunyai akal dan budi yang tinggi, maka dengan sendirinya produktiviti negara akan berkembang dengan sangat baik, seterusnya memenuhi keperluan negara ke arah kemajuan. Masyarakat hebat itu perlu mempunyai pengisian dan jati diri yang teguh dan diikuti dengan pembudayaan nilai yang positif. Maka itu, di sini letaknya peranan penggiat seni dalam mengisi keperluan rohani masyarakat dengan menghidangkan karya-karya yang membina dan bukan sekadar membekalkan hiburan semata-mata.\nSeperti kata-kata yang pernah dinukilkan oleh Hamka,\nMembaca buku-buku yang baik bererti memberi makanan rohani yang baik. Bacalah buku-buku yang bermanfaat, roman yang berisi, ketahui jalan fikiran bangsa sendiri.\nSudah pasti, buku, drama, filem, lagu dan apa-apa jua karya seni perlu dihasilkan dengan kesedaran yang tinggi oleh penggiat seni. Penggiat seni tidak boleh mengejar keuntungan dan nilai komersial semata-mata kerana di bahu mereka terpikul sebuah tanggungjawab yang besar, iaitu memanusiakan manusia melalui karya seni. Apabila ramainya penggiat seni yang melahirkan karya yang bermutu dan membina akal, percayalah bahawa bidang seni dan budaya pasti memperoleh nilai prestijnya semula, sekali gus menjadi ejen penting kepada pembentukan masyarakat yang berwibawa dan intelek." "Adakah Jantina Suatu Fakta?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSekilas pandang pada tajuk makalah ini mungkin ada yang terfikir bahawa penulis pasti sudah hilang akal. Atau ada yang mungkin terfikir isu ini tidak berbaloi untuk dibincangkan dan hanya membuang masa semata-mata. Namun begitu, adakah benar hal ini hanya membuang masa dan terkeluar daripada landasan logik akal? Adakah persoalan ini tidak memerlukan perbincangan lanjut? Adakah jantina benar-benar suatu fakta?\nJantina dibezakan oleh rupa luaran seseorang itu secara zahirnya dan dibuktikan melalui fungsi tubuh badan mereka terutamanya melibatkan sistem pembiakan. Hal tersebut merupakan gabungan ciri-ciri anatomi dan fungsi fisiologi seseorang insan secara semula jadi. Inilah aspek asas yang membezakan antara lelaki dengan perempuan dan juga fakta untuk setiap insan sejak mereka dilahirkan.\nMemang diakui dalam dunia sains perubatan dan kesihatan bahawa seseorang itu boleh dilahirkan dengan kedua-dua ciri-ciri anatomi yang ada pada lelaki dan juga perempuan. Malah dalam ajaran Islam keadaan ini juga dirujuk sebagai interseks (khunsa) yang diakui serta diterima kejadiannya. Akan tetapi, hal ini sama sekali berbeza daripada golongan yang ingin diiktiraf sebagai transgender atau golongan yang mempunyai kecenderungan orientasi seksual yang menyimpang seperti lesbian atau gay.\nTanyalah kepada sesiapa sahaja yang telah mempelajari ilmu sains biologi dan perubatan sehingga ke tahap memerhatikan fungsi sel-sel di dalam badan. Mereka pasti akan menjelaskan bahawa fungsi biologi dan selular di dalam badan kita tidak pernah menipu.\nWalaupun sesetengah gangguan fisiologi mungkin berlaku kerana wujudnya pencetus tertentu sama ada yang diketahui atau tidak serta boleh menyebabkan penyakit tertentu, tetapi fungsi selular dan fisiologi manusia merupakan suatu fakta. Ovum ialah sel yang hanya dihasilkan oleh sistem pembiakan wanita, manakala sel sperma pula hanya dijumpai dalam diri seorang lelaki. Kedua-dua sel ini bertanggungjawab untuk manusia membiak secara semula jadi dan ini ialah fakta yang diketahui umum.\nPada hari ini, kemunculan semula komuniti lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ) sangat jelas kelihatan dan suara mereka semakin lantang menuntut hak kebebasan gaya hidup mereka. Di sesetengah negara terutamanya di Barat, komuniti mereka diterima secara terang-terangan oleh masyarakat moden kini. Tidak dapat dinafikan, ini suatu budaya yang kembali semula. Jika dilihat dalam manuskrip ajaran Islam, kisah perlakuan homoseksual ini membawa kita kembali ke zaman Nabi Luth AS dan diriwayatkan kisah kaum Nabi Luth yang mendapat kemurkaan Allah SWT kerana gaya hidup homoseksual mereka yang berdosa itu. Kejadian ini berlaku beribu-ribu tahun yang lalu, bahkan sebelum kedatangan zaman Nabi Muhammad SAW lagi. Julat antara zaman kita pada hari ini dengan Nabi Muhammad SAW adalah lebih daripada 1400 tahun dahulu yang memperlihatkan betapa jauhnya jarak masa itu. Namun begitu, ajaran Islam telah digambarkan sebagai pemikiran yang mundur dan tidak progresif oleh sesetengah masyarakat moden pada hari ini.\nWalau bagaimanapun, lihatlah siapakah yang mundur ke belakang sekarang? Perkahwinan sesama jantina yang tidak akan menghasilkan bayi sememangnya fakta!\nSeorang transgender yang mengubah jantinanya daripada lelaki kepada perempuan tidak akan dapat hamil ialah fakta benar. Seseorang yang menukar ciri anatomi mereka secara luarannya sahaja untuk kelihatan seperti jantina yang bertentangan juga bukanlah fakta. Mana-mana agama, kepercayaan, ajaran, malah penyokong tegar gerakan LGBTQ pasti akan bersetuju bahawa ciri-ciri anatomi dan fungsi fisiologi manusia yang ada pada setiap manusia semasa mereka dilahirkan melibatkan fakta biologi. Adakah mereka dapat menafikan fakta tersebut? Oleh hal yang demikian, dari manakah datangnya kekeliruan ini?\nBolehkah seseorang yang dilahirkan 15 tahun lalu mengikut kalendar Gregorian pergi ke kedai dan membeli sebungkus rokok kerana \u201cdalam dirinya\u201c dia merasakan bahawa dia sudah berumur 18 tahun? Atau bolehkah seseorang yang dilahirkan secara semula jadi sebagai lelaki mengatakan walaupun dia dilahirkan lelaki tetapi \u201cdalam dirinya\u201c dia berasa seperti seorang wanita dan itulah sebabnya dia kini menjadi seorang wanita? Isu tentang kekeliruan jantina atau orientasi seksual yang menyimpang daripada norma kehidupan dalam diri seseorang pastinya ada kaitan dengan keadaan psikologi mereka, bukannya disebabkan oleh faktor genetik.\nDisebabkan hal itu, tuntutan golongan LGBTQ yang mahu masyarakat masa kini menerima gaya hidup mereka sebagai norma kehidupan tidak akan dapat difahami dengan baik. Perkara yang diperlukan oleh golongan ini sudah pasti melibatkan bantuan atau campur tangan daripada pakar perubatan dan kesihatan untuk memperbetulkan semula \u201ckesihatan dalaman\u201d mereka. Kemungkinan besar sesuatu perkara telah berlaku dalam hidup mereka sehingga menjadi titik tolak yang mengubah kehidupan mereka untuk menjadi sebahagian daripada golongan LGBTQ.\nOleh sebab itu, demi kepentingan masyarakat secara umumnya adalah lebih baik jika kita bersama-sama membantu golongan LGBTQ ini secara langsung atau tidak langsung untuk membimbing mereka kembali ke landasan yang benar, bukannya mengutuk serta mengeji mereka secara terbuka.\n\nFikirkanlah kembali kesannya kepada generasi muda yang akan datang jika masyarakat terpaksa menerima gaya hidup golongan LGBTQ ini secara terbuka. Bayangkan betapa kelirunya seorang kanak-kanak yang sedang membesar, tetapi tidak dapat memahami sepenuhnya aspek asas dalam kehidupan tentang kewujudan jantina dan perbezaan jantina yang berlainan. Menyaksikan perkahwinan sesama jantina di dalam media sosial atau platform media yang lain sudah pasti akan menjadi terlalu berat bagi minda kanak-kanak yang sedang memproses situasi itu walau apa-apa pun justifikasi yang diberikan.\nWalaupun kita kini hidup dalam dunia serba moden, namun tidak bermakna kita harus menerima gaya hidup golongan LGBTQ yang terkeluar daripada norma biologi berdasarkan pada hak asasi manusia semata-mata. Terdapat nilai moral yang perlu kita tanamkan kepada generasi muda dan pada masa yang sama bertindak memelihara kewujudan dan kesucian kejadian manusia di alam ini.\nPada hakikatnya, ciptaan Tuhan tidak pernah salah. Seseorang itu mungkin berhujah bahawa, jika penciptaan Tuhan adalah sempurna, maka mengapakah lahirnya manusia yang cacat di dunia ini?\nHal tersebut merupakan ujian dan juga pembuktian kepercayaan kita kepada kewujudan Tuhan dan alam semula jadi yang mempunyai rahsianya yang tersendiri. Jelas sekali, sifat biologi kita juga telah membuktikan hanya wanita yang boleh melahirkan anak dan hal ini pastinya suatu fakta." "Peri Pentingnya Bahasa dan Komunikasi dalam Penakatan Tamadun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Sarawak Bina Laluan ART Kedua\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBintulu \u2012 Sarawak akan melaksanakan pembinaan laluan Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) di Bintulu yang menghubungkan Bandar Bintulu dan Tanjung Kidurong. Laluan ini merupakan laluan kedua yang bakal dibina di Bumi Kenyalang itu selepas sistem ART pertama yang masih dalam pembinaan di Kuching.\nPerkara tersebut diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (atau lebih dikenali sebagai Abang Johari) dalam Majlis Apresiasi Lembaga Kemajuan Bintulu semalam.\nBeliau berkata, sistem pengangkutan tersebut kelak akan memudahkan dan melicinkan pergerakan antara bandar dengan pusat industri di Kidurong. Pembinaan sistem ART akan dapat menampung permintaan rakyat terhadap perkhidmatan itu selari dengan pembangunan di Tanjung Kidurong yang akan mewujudkan hampir 15 000 peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak dalam tempoh empat tahun akan datang.\nTanjung Kidurong akan menjadi hab pengeluaran bahan petrokimia dari sumber gas asli luar pantai yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak dan bakal menjadi pusat pengeluaran gas hidrogen. Loji metanol yang dimiliki penuh oleh Kerajaan Sarawak juga kelak akan menjadi pusat pengeluaran gas hidrogen yang pertama di Malaysia.\nSelain itu, kerja-kerja awal hab perubatan juga akan dibangunkan di Kidurong, iaitu dengan nilai pelaburan bagi fasa pertama berjumlah RM200 juta dari Amerika Syarikat dan fasa kedua akan menyusul dengan pelaburan RM800 juta.\nBintulu juga bakal menjadi pusat pengeluaran gas hidrogen yang pertama di Malaysia dan terkemuka di Asis Tenggara, iaitu dengan mengeluarkan anggaran 100 000 tan hidrogen dan membolehkan pelabur, seperti Samsung dari Korea dan Sumitomo dari Jepun membeli balik hidrogen ini\nTambah beliau, ART ini akan menarik pelancong \u00a0asing untuk melawat Taman Negara Similajau. Abang Johari mempamerkan keyakinan beliau bahawa sistem ART ini merupakan satu petanda pelabur swasta dari luar negara mempunyai keyakinan kepada dasar ekonomi yang dibawa Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak.\nBeliau juga menekankan bahawa Lembaga Kemajuan Bintulu telah berjaya membangunkan sebuah perkampungan nelayan kepada sebuah kawasan perindustrian sejak penubuhannya 44 tahun yang lalu." "Malaysia Alami Ketirisan Wang Awam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Susulan daripada laporan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2020 Siri 1 Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dimaklumkan bahawa daripada 682 isu pengauditan, terdapat lima isu yang berpotensi dikenakan tindakan punitif dan 677 isu yang lain membabitkan isu korektif, pada sidang Parlimen semalam.\nKetika pemantauan dilakukan, PAC melihat isu pembaziran, pemborosan dan kerugian wang awam yang di alami Malaysia adalah pada tahap yang serius, iaitu mencapai sejumlah RM64.1 juta.\nBerdasarkan laporan tersebut, antara pembaziran yang tinggi adalah meliputi:\nSementara itu, LKAN turut mendedahkan bahawa Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang telah melakukan pembayaran dividen yang tidak teratur, iaitu sebanyak RM600.59 juta dibayar dengan menggunakan dividen atas caruman kerajaan.\nOleh itu, PAC akan mengadakan mesyuarat khas bagi meneliti semua isu-isu yang dibangkitkan ini dan akan memulakan prosiding selepas mendapat keputusan sebulat suara berhubung isu yang akan disiasat." "KLIA dan LIA Terpilih antara Lapangan Terbang Terbaik Dunia Tahun 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2012 Dalam kaji selidik global Airport Service Quality (ASQ) yang dijalankan oleh Airports Council International (ACI), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) telah dipilih sebagai antara lapangan terbang terbaik dunia dalam kategori masing-masing bagi tahun 2021.\nSetiap industri di Malaysia sentiasa berusaha untuk memberikan servis yang terbaik kepada pelanggan.\nDalam satu kenyataan hari ini, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melaporkan bahawa KLIA dan LIA mencapai skor sempurna 5.00 dalam kategori masing-masing iaitu lapangan terbang yang memberi perkhidmatan kepada lebih 40 juta pelanggan setahun dan dua hingga lima juta pelanggan setahun. Penghargaan tersebut diberikan oleh ASQ berdasarkan keseluruhan kepuasan penumpang terhadap keselamatan terminal, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan lapangan terbang.\nPenghargaan yang diberikan kepada kedua-dua lapangan terbang ini akan terus memberikan dorongan kepada MAHB untuk terus melonjakkan prestasi perkhidmatan dan mengekalkan piawaian tinggi perkhidmatannya, terutamanya jangkaan peningkatan bilangan penumpang setelah pengumuman pembukaan semula sempadan Malaysia pada 1 April 2022 selepas negara menuju ke fasa endemik.\nSebanyak 4.66 juta penumpang direkodkan pada bulan Februari 2022, yakni 2.54 juta penumpang atau 55 peratus disumbangkan oleh rangkaian lapangan terbang tempatannya dan 2.12 juta atau 45 peratus daripada asetnya di Turki, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG).\nMalaysia juga merekodkan pergerakan trafik penumpang domestik berjumlah 2.27 juta dan antarabangsa sebanyak 0.28 juta, manakala ISG mencatatkan 1.09 juta penumpang domestik dan 1.03 juta penumpang antarabangsa. Bagi operasi kargo pula, kumpulan itu merekodkan peningkatan jumlah tan sebanyak 17.4 peratus bulan lepas yang mana kira-kira 86,768 tan metrik bagi operasi kargo di Malaysia dan juga di Turki, berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas.\nMenyingkap sejarah pembukaan, KLIA dibuka secara rasmi pada 27 Jun 1998, lapangan terbang ini boleh menampung sejumlah 35 juta penumpang setahun dan 1.2 juta tan metrik kargo pada ketika itu. Pada tahun 2006, KLIA telah berjaya menduduki tempat yang ke-13 di peringkat dunia dari segi bilangan penumpang asing di mana sebanyak 24 129 748 penumpang telah direkodkan menggunakan lapangan terbang ini. Pada tahun yang sama, KLIA juga telah mengendalikan 677,446 tan metrik kargo untuk menduduki tempat ke-30 di dunia dari segi pengendalian kargo. Lapangan terbang ini merupakan lapangan terbang utama di Malaysia dan merupakan yang terbesar di negara ini. Ia terletak di daerah Sepang, Selangor dan hampir 50 kilometer jaraknya dari ibu negara, Kuala Lumpur.\nSelain itu, LIA merupakan lapangan terbang yang terletak di bahagian barat daya Pulau Langkawi di negeri Kedah. Pada tahun 2015, LIA telah menerima sejumlah 2 336 177 penumpang dan 30 853 pergerakan pesawat. Pada bulan September 2018, kapasiti LIA dinaiktarafkan kepada empat juta penumpang dalam setahun. LIA pada asalnya merupakan pangkalan udara tentera Jepun pada tahun 1945 dan seterusnya digunakan oleh tentera Inggeris. Pembinaan LIA bermula pada tahun 1991 dan telah siap pada Disember 1993. Setelah itu, negeri Kedah mempunyai dua kemudahan lapangan terbang, iaitu\u00a0Langkawi International Airport (LIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim." "Tiada Lagi Permohonan Memasuki Sarawak, Mulai 1 April\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMulai 1 April 2022, pelancong tidak perlu lagi membuat permohonan dan pengisytiharan untuk memasuki Sarawak melalui EnterSarawak atau mengisi borang E-Health Declaration (eHDF).\nSempadan Sarawak juga akan dibuka semula dengan sembilan keperluan dikemas kini dan maklumat berkenaan akan disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).\nMenurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pelancong hanya perlu memuat turun aplikasi MySejahtera dan mengisi borang soal selidik yang berkaitan dalam aplikasi tersebut.\n\u201cUntuk pelancong luar negara pula, mereka dibenarkan masuk tanpa perlu memohon My Travel Pass tetapi perlu mengisi borang Pre Departure Form menerusi Traveller Icon di aplikasi MySejahtera.\n\u201cMereka yang datang melalui udara dan darat juga akan disediakan salinan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk rujukan,\u201d ujarnya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya.\nUjar beliau lagi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), usaha keperluan keselamatan juga giat dijalankan bagi mengelakkan sebarang kerumitan dan kesesakan yang biasanya berlaku di lapangan terbang.\n\u201cKita juga berharap dapat menyediakan sistem yang mudah untuk membuat saringan supaya setiap pelancong yang diuji tidak perlu menunggu lama,\u201d katanya.\nJPBN Sarawak turut berbincang dengan Brunei dan Indonesia mengenai SOP kemasukan di negeri itu melalui jalan darat.\n\u201cHal ini adalah untuk membendung penularan wabak COVID-19, sekali gus membolehkan pelancongan dan perniagaan beroperasi semula.\n\u201cSOP Bazar Ramadan dan Bazar Gawai juga akan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, manakala SOP untuk aktiviti dan program keagamaan akan dikeluarkan oleh Majlis Islam Sarawak dan Unit Agama lain,\u201d terangnya lebih lanjut." "Mendukung Aspirasi dan Impian Tinggi \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 \u201cEnam fokus Tentera Darat sempena Hari Tentera Darat pada kali ini merupakan manifestasi daripada mantan-mantan panglima Tentera Darat yang terdahulu. Kita perlulah mendukung aspirasi dan impian tinggi ini bagi memastikan Askar Wataniah terus membanting tulang, bersedia menghadapi segala rintangan dan berusaha mencapai misi yang diamanahkan.\u201d\nDemikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat melancarkan dan seterusnya mengetuai program Kayuhan Amal Sempena Hari Tentera Darat ke-89, anjuran Rejimen 504 Askar Wataniah.\nSecara umumnya, menurut baginda, program ini jelas menunjukkan tahap kematangan majikan apabila cakna terhadap kebajikan pegawai dan anggota, seiring dengan tema program \u201cKesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin\u201d.\n\u201cSetiap anggota haruslah mengambil peluang daripada perancangan pihak pemerintahan atasan dan terus menitikberatkan segala objektif dalam perkhidmatan demi kepentingan bersama,\u201d titah baginda yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen yang sentiasa memegang slogan \u201cLatih untuk Perang\u201d.\nSebagai simbolik kenangan penganjuran program pada kali ini, satu persembahan Tarian Perang oleh anggota sukarela dan juga penanaman lima pohon pokok bunga kertas turut diadakan.\nKeberangkatan tiba baginda disambut oleh Panglima 6 Briged Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Akib Haji Yusof dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak, di perkarangan Masjid As-Sobirin Kampung Gial.\nSelain program tersebut, turut diadakan penyerahan sumbangan ikhlas daripada warga 6 Briged Infantri dan Kor Polis Tentera DiRaja yang diketuai oleh Ketua Provos Marsyal Angkatan Tentera Malaysia Brigedier Jeneral Dato\u2019 Haji Mislan Anuar yang juga merangkap Pengerusi Kor Polis Tentera DiRaja (KPTD), Provos Marsyal Darat Brigedier Jeneral Azman @ Norazman Selamat dan Pengarah KPTD Brigedier Jeneral Abd. Wahab Geoh kepada tiga buah keluarga asnaf, melalui program Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis." "Amalkan Budaya Integriti yang Menyeluruh- Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra \u2013 Warga kerja Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dimohon untuk memastikan slogan \u201cIntegriti Menyeluruh dan Positif\u201d dipraktikkan dalam usaha menghadapi COVID-19 secara bersama-sama. Isu integriti bukan sahaja memfokuskan isu rasuah semata-mata, malah juga sebagai satu konsep yang lebih luas, iaitu integriti dengan memberikan perkhidmatan terbaik demi memenuhi kehendak pemegang taruh. Hal ini turut terkait dengan amalan integriti ketika berhubung dengan ketua jabatan, rakan sekerja, kakitangan sokongan serta para pelanggan, khususnya membabitkan status kesihatan masing-masing dalam konteks menghadapi COVID-19.\n\u201cMereka juga perlu sentiasa berusaha untuk belajar sesuatu yang baharu, selain mempunyai kemahiran yang pelbagai. Hal ini adalah untuk memastikan keupayaan untuk membantu dan memastikan urusan tugas yang ditinggalkan oleh rakan sekerja yang terkesan dengan COVID-19 dapat berjalan dengan lancar.\u201c Demikian titah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Majlis Anugerah Seri Gemilang (ASG) UniMAP Tahun 2021 yang diadakan di Dewan Kecemerlangan, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, Perlis pada petang semalam.\nTurut berangkat sama ialah Pro Canselor, Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Menyambut keberangkatan tiba baginda berdua ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, YBhg. Raja Dato\u2019 Azwane Raja Ariff dan Naib Canselor, YBhg. Profesor Ts Dr. Zaliman Sauli serta para pegawai kanan universiti.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra juga tidak mahu rakyat Perlis secara umumnya dan warga UniMAP secara khususnya leka dan alpa dengan keadaan COVID-19 yang masih belum berakhir. Baginda turut berkongsi tentang peratusan di negeri Perlis yang mencatatkan 1009 kes pada minggu lepas dengan 94.7 peratus mewakili kategori 1 dan kategori 2 ringan. Namun begitu, kemasukan ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 adalah melibatkan pesakit yang mengalami masalah kesihatan yang serius. Majoriti pesakit tersebut terdiri daripada warga emas yang mempunyai penyakit diabetes, darah tinggi, obesiti dan penyakit lain.\n\u201cTahun ini Perlis mencatatkan kes kematian akibat COVID-19 yang tinggi berbanding dengan negeri lain, iaitu melibatkan warga emas (87.9 peratus) dan pesakit yang mempunyai komorbiditi (81.9 peratus). Hal ini mesti diambil serius oleh seluruh rakyat. Tiada kematian melibatkan penerima suntikan dos penggalak vaksin COVID-19. Jumlah kematian adalah tinggi, iaitu 51.5 peratus bagi golongan yang belum menerima dan belum lengkap vaksin COVID-19,\u201d tambah baginda.\nHal ini jelas menunjukkan warga emas dan individu yang mempunyai komorbiditi merupakan kumpulan yang berisiko jika mereka dijangkiti COVID-19. Jelas baginda, penerimaan vaksin terutamanya suntikan dos penggalak merupakan pelindung dan dapat menghalang keadaan menjadi semakin teruk.\nTuanku Raja Muda juga memaklumkan bahawa, sehingga 22 Mac 2022, sebanyak 7242 orang kanak-kanak berumur lima tahun hingga 11 tahun\u00a0 di negeri ini telah menerima dos 1 vaksin COVID-19, iaitu kira-kira 24.9 peratus daripada kanak-kanak yang layak menerima vaksinasi ini. Jumlah ini adalah rendah memandangkan jumlah jangkitan COVID-19 yang tinggi pada masa ini.\nSelain itu, jangkitan dalam kalangan kanak-kanak dan kemasukan ke hospital juga menunjukkan peningkatan. Pada tahun 2021, sebanyak 651 kanak-kanak dijangkiti COVID-19 di Perlis. Namun demikian, pada tahun ini, iaitu sehingga 22 Mac 2022, jumlah jangkitan COVID-19 bagi kanak-kanak telahpun mencecah sebanyak 660 orang dengan 103 orang perlu dirawat di hospital. Jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding dengan tahun 2021, iaitu hanya 40 orang. Kumpulan kanak-kanak yang mempunyai komorbiditi seperti penyakit paru-paru kronik, kurang daya tahan diri, diabetes dan penyakit kronik lain adalah berisiko tinggi untuk mengalami jangkitan COVID-19 yang lebih serius.\nPada masa yang sama, dalam majlis tersebut turut diadakan sesi penyampaian anugerah bagi beberapa kategori kepada individu yang layak. Antara anugerah yang disampaikan di majlis tersebut ialah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (133 orang), Anugerah Khas Perkhidmatan Cemerlang (34 orang) dan Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan (93 orang)." "Kerjasama Malaysia-Turki Lancar e-Galeri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) melancarkan\u00a0 e-Galeri di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen, Instanbul dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB).\nE-Galeri ialah platform yang mengandungi pengenalan dan sambungan syarikat Malaysia dari beberapa sektor seperti industri halal dan barangan pengguna, produk getah, bahan binaan dan alat ganti dan komponen automotif.\nSecara umunya, pelawat hanya perlu mengimbas kod QR sektor yang mereka minati dan mengakses butiran syarikat dan produk melalui sambungan kepada syarikat Malaysia dengan satu klik sahaja. Inisiatif ini memberi peluang sambungan antara perniagaan-ke-perniagaan (B2B), menghapuskan jarak dalam beberapa minit sahaja.\nDikendalikan oleh Malaysia Airports, iaitu kumpulan pengendali lapangan terbang terbesar di dunia dari segi bilangan penumpang yang dikendalikan, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen dipilih sebagai satu daripada pelaburan terbesar Malaysia di Turki.\nMenurut Duta Besar Malaysia ke Turki, Sazali Mustafa Kamal,\nKekuatan sektor awam dan swasta dapat merangsang aktiviti perniagaan dan kerjasama strategik antara kedua-dua syarikat, iaitu Malaysia dan Turki.\nHal ini juga akan mempercepatkan lagi momentum pertumbuhan hubungan ekonomi yang membawa impak besar kepada komuniti perniagaan dari kedua-dua pihak.\nSementara itu, Pengarah MATRADE Instanbul, Rosmizah Mat Juzoh mengatakan bahawa walaupun dalam keadaan pandemik COVID-19, perdagangan Malaysia dan Turki telah mencatatkan prestasi tahunan tertinggi pada tahun 2021 dan berharap dapat meneruskan peningkatan positif pada tahun ini.\n\u201cMATRADE komited untuk memudahkan syarikat daripada kedua-dua negara mengembangkan lagi jangkauan pasaran mereka dan menggalakkan perkongsian strategik untuk peluang yang lebih besar pada peringkat global,\u201d katanya.\nHubungan perdagangan dua hala pada tahun lepas menunjukkan bahawa banyak syarikat di Malaysia telah mengembangkan perniagaan mereka di Turki.\nBermula kedai perkakasan di Malaysia pada tahun 2015, MR DIY kini mempunyai lebih daripada 1700 kedai di seluruh Asia Pasifik termasuk di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei dan Indonesia. Turki merupakan negara kesembilan syarikat itu beroperasi.\nOleh itu, e-Galeri akan berfungsi sebagai satu lagi platform untuk merapatkan kawasan perniagaan yang berpotensi luas untuk Malaysia dan Turki.\nMATRADE optimis setiap usaha yang dilaburkan dalam mempromosikan hubungan perniagaan antara Malaysia dengan Turki untuk membuka pintu kepada pasaran yang lebih luas." "Sinar Baharu Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSesudah 65 tahun merdeka, isu bahasa Melayu sebagai bahasa negara (bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu, bahasa undang-undang, bahasa di tempat awam, bahasa media dan bahasa ekonomi) masih sering diperkatakan. Kita menyaksikan pasang surut perkembangan bahasa Melayu dalam semua bidang yang saya sebut dalam konteks bahasa negara itu tadi. Kita bersyukur kerana tarikh 23 Mac memberikan sinar baharu apabila Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan di Dewan Negara bagi menjawab beberapa soalan anggota Dewan menegaskan pendirian dan langkah kerajaan untuk mengangkat bahasa Melayu.\nKenyataan positif Perdana Menteri tentang bahasa Melayu bermula di Pertandingan Antarabangsa Pidato Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri Ke-14 di Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru pada hujung tahun 2021. Dalam ucapan perasmian, beliau menegaskan agar agensi kerajaan dan swasta menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi. Kemudian yang lebih mengujakan ialah kenyataan beliau di Bangkok bahawa urusan rasmi kerajaan Malaysia di luar negara hendaklah dalam bahasa Melayu. Beliau mengotakan janjinya apabila semua ucapan beliau di beberapa buah negara yang dikunjunginya, iaitu Indonesia, Brunei Darussalam, Kampuchea, Thailand dan Vietnam menggunakan bahasa Melayu. Di Indonesia dan di Brunei Darussalam hal itu tidak luar biasa kerana bahasa kebangsaannya memang bahasa Melayu. Namun di Kampuchea, Thailand dan Vietnam, langkah Perdana Menteri yang berucap dalam bahasa Melayu merupakan langkah berani yang luar biasa dan pertama kali dilakukan oleh Perdana Menteri negara ini.\nKesediaan Perdana Menteri untuk menerima kunjungan kumpulan pejuang bahasa pada 10 Mac 2022 yang dipimpin oleh YB Senator Tan Sri Dato\u2019 Seri Utama Dr. Rais Yatim menghasilkan beberapa resolusi penting tentang usaha mengangkat bahasa Melayu pada peringkat negara dan dunia. Beliau sendiri menyiarkan berita pertemuan dan beberapa resolusi awal itu dalam\u00a0 media sosialnya. Sebagai imbasan, saya rakam sejumlah resolusi perbincangan lebih sejam di pejabat beliau di Parlimen yang kemudian dikembangkan menjadi pelan tindakan untuk dilaksanakan.\nMukadimah bagi usaha mengangkat bahasa Melayu berkait rapat dengan cita-cita pembentukan negara bangsa yang satu daripada pancangnya ialah bahasa kebangsaan, selain pancang \u201cRaja-Raja Melayu, Islam agama Persekutuan dan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta hak sah kaum-kaum lain\u201c.\nNegara kita telah mempunyai asas dan dasar yang jelas tentang kedudukan dan peranan bahasa Melayu, iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, Akta Pendidikan 1996 (sebelumnya 1961), Akta DBP 1959 dan beberapa peraturan lain. Penegasan tentang peningkatan penggunaan bahasa Melayu bukan penetapan dasar baharu, sebaliknya untuk \u201cpeningkatan\u201c, \u201cpeluasan\u201c,\u00a0 \u201cpenguatkuasaan\u201c dan \u201ckesinambungan\u201c daripada kejayaan yang telah dicapai sejak kemerdekaan.\nPada peringkat negara, aspek penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi pentadbiran dapat ditingkatkan dengan pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), khasnya untuk membolehkan DBP mempunyai suara dan kuasa undang-undang. Berkaitan dengan itu, program Audit Bahasa Melayu yang mula dilaksanakan oleh DBP dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam pada tahun 2013 telah menunjukkan kesan yang baik dan perlu diluaskan dalam sektor pihak berkuasa awam atau agensi, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Institut Pendidikan Tinggi (IPT) dan kemudian swasta.\nUntuk sektor pendidikan, rancangan perlu dibuat untuk memperkukuh sekolah kebangsaan sebagai sistem arus perdana yang berdasarkan penggunaan bahasa kebangsaan, selaras dengan usul Penyata Razak 1956. Program yang mengurangkan peranan bahasa Melayu dalam sektor pendidikan seperti \u201cDual Language Programme\u201c (DLP) perlu disemak semula.\nDi IPT, dasar pengutamaan bahasa Melayu dalam perkuliahan perlu ditingkatkan semula.\u00a0 Pelan Pemartabatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu Tinggi yang digerakkan oleh oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun 2011 perlu dipastikan keberkesanannya agar bahasa Melayu mampu menjadi ilmu dalam segala bidang dan pengayaan khazanah ilmu dalam bahasa kebangsaan dapat dicapai.\nSelain itu, bahasa Melayu perlu dijadikan kursus wajib bagi pelajar antarabangsa dan perlu dirancang pelaksanaan Ujian Kecekapan Bahasa Melayu (UKBM) yang pada satu masa dapat menyamai TOEFL, IELTS dan lain-lain. Saya difahamkan, DBP, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Majlis Peperiksaan Malaysia telah mula mengerakkannya tetapi langkah itu perlu dilaksanakan dengan meluas oleh semua IPT.\nUntuk peringkat antarabangsa, Program Diplomasi Kebudayaan Kementerian Luar Negara yang turut mengembangkan bahasa Melayu perlu menggerakkan beberapa langkah. Pertama, melaksanakan Pekeliling JPA Bil. 9, 2011 dan Pekeliling Bil. 1, 2020 yang menganjurkan penggunaan bahasa Melayu dalam surat rasmi kerajaan ke luar negara dengan terjemahan dalam bahasa Inggeris atau bahasa negara sasaran. Kedua, meluaskan kursus bahasa, budaya dan warisan negara di kedutaan untuk keluarga kakitangan dan juga masyarakat setempat di negara asing seperti yang telah dimulakan di beberapa kedutaan. Ketiga, Kementerian Luar Negeri (KLN) perlu menetapkan peranan Atase Pendidikan dan Kebudayaan di kedutaan sebagai agen promosi pendidikan dan kebudayaan Malaysia di luar negara. Keempat, kursus intensif terjemahan dan interpretasi diperbanyak untuk melahirkan ahli terjemah dan jurubahasa yang diperlukan di forum antarabangsa, khasnya bahasa Melayu ke dalam bahasa-bahasa utama dunia. Dalam memajukan bahasa Melayu di dunia, kerjasama padu diperlukan daripada Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya Negara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan agensi-agensi lain.\nBerkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), cadangan dan usaha telah bermula pada tahun 1980-an oleh DBP dan pertubuhan seperti Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA). Dengan jumlah penutur bahasa Melayu sekitar 300 juta orang di Asia Tenggara, bahasa Melayu berkelayakan menjadi bahasa rasmi ASEAN. Di empat buah negara (Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam dan Singapura), bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan. Di bahagian selatan Thailand, bahasa Melayu telah meluas penggunaannya. Di sebahagian negara Filipina, Kampuchea, Vietnam, Laos dan Myanmar, juga terdapat penutur bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, sebagai langkah praktis dan realistik, kita bermula dengan usaha mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN. KPT telah memulakan usaha dengan Program Pengembangan Bahasa Melayu di IPT negara-negara ASEAN, dengan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai urus setia induknya.\n(Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dan Pengarah ATMA UKM)" "Menghayati Denyut Nadi Rakyat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Perlis \u2013 Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Seri Mohd Zuki Ali kagum dan teruja dengan Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail atas sikap merendah diri baginda ketika menyantuni rakyat dengan mengetepikan protokol. Baginda sentiasa turun padang melihat keadaan dan membantu sendiri masyarakat setempat.\nMelihat nilai murni yang diamalkan oleh DYTM Tuanku Raja Muda Perlis, YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Seri Mohd Zuki mengingatkan pegawai tinggi dan pegawai kanan penjawat awam agar\u00a0 sentiasa turun padang sepertimana yang dilakukan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis. Menurut YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Seri Mohd Zuki,\u00a0 DYTM Tuanku Raja Muda Perlis seorang raja yang menghayati denyut nadi rakyat dan baginda banyak bercampur dengan masyarakat untuk memperkasakan komuniti.\n\nOleh itu, pada akhir program Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Khas di sekitar Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Seberang Ramai Kuala Perlis pada pagi tadi, YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Seri Mohd Zuki menyeru penjawat awam sebagaimana ucapannya seperti yang berikut.\nPenjawat awam bukan hanya bertugas di pejabat semata-mata untuk berbincang dan meluluskan projek pembangunan sahaja tetapi perlu lebih peka dengan melihat sendiri keadaan sebenar di lapangan serta perlu menghidupkan suasana selesa antara masyarakat dengan penjawat awam.\nDalam program tersebut, beliau juga mengucapkan tahniah kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis atas segala inisiatif dan usaha menjayakan projek transformasi diraja tersebut bersama-sama dengan pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu dan juga penduduk setempat.\n\n\nTerdahulu, DYTM Tuanku Raja Muda berkenan berangkat melepaskan kira-kira 800 orang peserta pacu ria (fun ride) sempena dengan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Perlis di Stadium Tuanku Syed Putra Kangar.\nBaginda turut berkenan menerima persembahan cek cura (mock\u00a0cheque) bagi mewakili Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis daripada K TWO Berjaya Resources (RM20 000), Yayasan Vantage Five (RM20 000) dan Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) (RM10 000) untuk terus menjayakan projek di Kampung Seberang Ramai tersebut.\nTurut hadir dalam Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Khas ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri, YBhg. Datuk Seri Jamil Rakon; Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), YBhg. Datuk Seri Dr. Yusof Ismail; dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Jabatan Perdana Menteri, YBhg. Datuk Mohammad Ismail." "Pasukan Floria DiRaja Putrajaya Sembah Mengadap Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima sembah mengadap hormat daripada Pasukan Floria DiRaja Putrajaya yang terdiri daripada tujuh orang pegawai yang mewakili Perbadanan Putrajaya di Galeri DiRaja Arau, Perlis. Kunjungan sembah mengadap tersebut diketuai oleh Puan Haslinda Khalid, iaitu Pengarah Bahagian Perancangan dan Pembangunan Taman, Jabatan Landskap, Perbadanan Putrajaya.\n\nFloria Diraja Putrajaya 2022 dirancang untuk diadakan oleh Perbadanan Putrajaya pada 29 Ogos 2022 hingga 4 September 2022 selama tujuh hari bertempat di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya. Perancangan tersebut dipersembah maklum kepada baginda Tuanku Raja Muda oleh Puan Haslinda semasa sembah mengadap hormat berkenaan.\nMenurut Puan Haslinda:\nIni adalah kali ke-12 Festival Bunga dan Taman DiRaja Putrajaya bertaraf antarabangsa ini dianjurkan untuk memeriahkan lagi suasana Bandar Putrajaya. Acara ini yang juga merupakan salah satu produk pelancongan negara akan dapat menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negara untuk datang ke Putrajaya.\nTambah Puan Haslinda lagi, acara yang akan diadakan pada tahun ini bertemakan Bunga Orkid dan tema acara ialah Floria Hebat (Awesome Floria). Pelbagai program akan diadakan sepanjang festival ini seperti taman pameran, taman khas, pertandingan orkid dan bonsai, jualan pokok bunga, produk perkebunan dan aktiviti harian yang menarik. Program ini akan melibatkan penyertaan pihak antarabangsa dan dalam negara.\nMelalui sembah mengadap hormat tersebut, Pasukan Floria DiRaja Putrajaya mempersembahkan pokok Orkid Phalaenopsis yang merupakan bunga yang menjadi tema program Floria DiRaja Putrajaya 2022 kepada Raja Muda Perlis. Turut dipersembahkan ialah koleksi buku yang berkaitan dengan pokok berbunga yang termasuk dalam penganjuran Floria sebelum ini yang ditanam di sekitar Putrajaya.\nPenganjuran Festival Bunga dan Taman DiRaja Putrajaya pada tahun-tahun sebelum ini merupakan kebanggaan Malaysia dan kegemilangan terhadap festival yang bertaraf antarabangsa. Pokok-pokok berbunga yang ditanam di sekitar Putrajaya menghasilkan impak yang cukup bermakna\u00a0 kepada pengunjung dengan suasana berwarna-warni terutama pada musim berbunga antara bulan Mac hingga Mei dan terdapat juga pokok yang berbunga sepanjang tahun. Usaha dan hasil kejayaan ini adalah sejajar dengan konsep Putrajaya sebagai Bandar dalam Taman dan Bandar Berbunga.\nTurut hadir mengiringi Puan Haslinda ialah pegawai Jabatan Landskap, Perbadanan Putrajaya, iaitu Encik Jamalludin Budin, Puan Noor Shazlin Mohd Sharif, Encik Muhammad Salihuddin Mohd Naser, Encik Mohd Sukri Rusalan, Puan Mariana Abdul Malik dan Puan Nurul Ain Mohamad Fazli." "Hutan Simpan atau Hutan Simpanan?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nFrasa nama yang manakah yang tepat di bawah ini?\nHutan simpan atau hutan simpanan?\nDaripada:\nSapilah Yusuff,\nSimpang Renggam, Johor Bahru." "Pemakluman Peperiksaan SPM Tahun 2021 Sesi Kedua\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa Ujian Bertutur dan Ujian Mendengar (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris), Ujian Amali Sains dan Ujian Bertulis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 sesi kedua akan dilaksanakan pada 5 April hingga 19 Mei 2022.\nLP memaklumkan bahawa Peperiksaan SPM Tahun 2021 Sesi Kedua ini dilaksanakan bagi calon yang tidak dapat menduduki Ujian Bertutur dan Ujian Mendengar (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris), Ujian Amali Sains dan Ujian Bertulis yang telah dilaksanakan pada 8 Februari hingga 29 Mac 2022 yang lalu. Calon tersebut telah disahkan positif COVID-19 sebelum ini. Penangguhan tersebut disebabkan mereka perlu menjalani tempoh kuarantin seperti yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Selain itu, sesi ini juga ditetapkan khusus kepada calon yang terkesan akibat banjir atau kes-kes khas yang mendapat kelulusan Pengarah Peperiksaan.\nLP turut mengingatkan semua calon yang terlibat dengan Peperiksaan SPM Tahun 2021 Sesi Kedua kelak bahawa mereka perlu menyemak, mengesahkan dan mencetak Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan yang mengandungi dua maklumat pusat peperiksaan yang ditetapkan, tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan mulai 1 April 2022.\nSemua maklumat tersebut boleh didapati melalui pautan https://elp.moe.gov.my atau melalui aplikasi mudah alih e-Lembaga Peperiksaan yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store. Jadual waktu Peperiksaan SPM Tahun 2021 Sesi Kedua serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung boleh dimuat turun dari portal rasmi LP\u00a0juga pada 1 April 2022.\nCalon juga diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan yang dicetak ke pusat peperiksaan. Calon juga hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan oleh KPM serta prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan KKM.\nKetetapan ini adalah bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan pencegahan penularan wabak COVID-19. Garis panduan tersebut boleh dimuat turun dari portal rasmi KPM." "Program Kayuhan Komuniti Menyantuni Golongan Asnaf\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBachok\u00a0\u2013 Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato\u2019 Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan,\u00a0yang juga merangkap Pro-Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), telah berkenan berangkat untuk\u00a0menyantuni\u00a0150 orang asnaf melalui Program Kayuhan Komuniti di tiga lokasi berasingan pada pagi ini.\nPara peserta Program Kayuhan Komuniti mula berlepas dari ruang legar Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu, UMK pada pukul 10.45 pagi yang diketuai oleh Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato\u2019 Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.\nRombongan tersebut kemudiannya berhenti di lokasi pertama, iaitu di Masjid Mukim Neman. Lokasi seterusnya ialah Masjid Mukim Kuala Melawi dan Masjid Mukim Repek. Penyerahan sumbangan dilakukan secara ringkas dan tidak mengambil masa yang lama kerana para peserta kayuhan tersebut perlu tiba di lokasi mengikut masa yang ditetapkan.\nDalam program tersebut, Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato\u2019 Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz menyampaikan sumbangan buku daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan bantuan zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) kepada wakil asnaf yang mewakili 50 orang asnaf terpilih bagi setiap satu-satu masjid yang terlibat. Selain asnaf, DBP turut menyumbang buku kepada pihak masjid yang berupa Mushaf al-Quran dan set buku Bulugh al-Maram.\nAntara tetamu kehormat yang turut serta dalam Program Kayuhan Komuniti termasuklah YBrs. Dr. Arham Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMK dan YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP." "Program IFLA: Strategi Inovasi dan Kreatif Pusat Sumber Sekolah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNusajaya \u2013 \u201cPara pelajar pada hari ini, tanpa mengira waktu mahupun lokasi, hanya perlu menaip di peranti untuk mencari maklumat tentang sesuatu perkara. Maka itu, pusat sumber sekolah wajar mencari kaedah yang lebih dikemas kini sesuai dengan perkembangan teknologi pada hari ini.\u201d\nBegitulah yang dinyatakan oleh Tuan Haji Azman Haji Adnan, Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum di Kementerian Pendidikan Malaysia dalam ucapannya ketika merasmikan majlis penutup Program IFLA 4.0 di Educity, Nusajaya, Johor.\nProgram tersebut berlangsung selama dua hari, iaitu pada 25 hingga 26 Mac 2022 di Educity, Nusajaya, Johor. Program IFLA (Innovative, Futuristic, Library and Academia) merupakan sebuah program yang mengumpulkan guru perpustakaan dan media (GPM) dari sekolah rendah dan menengah di seluruh Malaysia.\nTujuannya adalah untuk berkongsi idea dan aspirasi dalam memajukan pusat sumber sekolah yang menjadi tunjang utama pelajar di sekolah untuk mengakses maklumat.\nPada peringkat awal, program ini hanya melibatkan GPM di negeri Johor dan telah diadakan buat julung kalinya pada tahun 2018. Pelaksanaan program ini pada tahun berikutnya merekodkan penambahan penyertaan yang mendadak dari negeri-negeri lain.\nHal ini dikatakan demikian kerana program IFLA ini terbukti berjaya memberikan impak positif kepada sekolah setelah menyaksikan transformasi yang memberangsangkan berlaku di pusat sumber sekolah.\nSelain itu, antara aktiviti yang telah diadakan dalam program IFLA 4.0 termasuklah lawatan ke Educity International College Library, resensi dan pelancaran tiga buah buku yang ditulis oleh persatuan GPM, perkongsian idea pelaksanaan program Nilam dan slot dekorasi pusat sumber sekolah. Program ini juga turut dimeriahkan oleh reruai jualan daripada beberapa pempamer termasuklah wakil penjual Dewan Bahasa dan Pustaka.\nDBP selaku penaja program telah mengisi slot akhir, iaitu program Majalah Dalam Kelas (MDK) yang menampilkan editor majalah Dewan Siswa, Puan Siti Noorisa Abdul Khlil dan editor majalah Dewan Pelajar, Puan Fansurina Ramli, serta taklimat ringkas berkaitan dengan JendelaDBP oleh Puan Nur Shamiera Zahid dari Bahagian Pengedaran dan Pemasaran." "MDK Kembali Bersemuka\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNusajaya \u2013 Program Majalah Dalam Kelas (MDK) buat julung kalinya diadakan secara bersemuka selepas hampir tiga tahun dilaksanakan secara dalam talian disebabkan pandemik COVID-19. MDK yang diadakan di Educity, Nusajaya, Johor adalah bersempena dengan Program IFLA (Innovative, Futuristic, Library and Academia) yang menghimpunkan para guru pusat sumber yang terkenal di negeri Johor.\nMenyingkap sejarah, Program MDK yang dilaksanakan oleh Bahagian Majalah dan Bahagian Perniagaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1989 merupakan program yang diadakan bagi membantu guru bahasa Melayu, khasnya dalam mempelbagaikan kaedah, teknik dan bahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa Melayu di sekolah. Modul MDK telah diperkenalkan oleh Azizul Rahman Abdul Rahman. Sebelum ini, beliau merupakan guru\u00a0 bagi mata pelajaran bahasa Melayu.\nSejak diperkenalkan, MDK telah dilaksanakan dengan editor majalah DBP, khususnya editor majalah Dewan Siswa dan Dewan Pelajar turun padang menyantuni guru dan para pelajar di sekolah yang terpilih untuk memberikan penerangan tentang dua majalah tersebut dan melaksanakan aktiviti berkaitan dengan penggunaan majalah Dewan Siswa dan Dewan Pelajar di dalam kelas.\nAntara aktivitinya adalah seperti \u201cMenukarkan Cerpen, Rencana atau Visual kepada Pantun\u201d, \u201cMenterjemahkan Puisi kepada Bentuk Visual\u201d, \u201cMenulis Ulasan Cerpen\u201d, \u201cMembina Silang Kata\u201d, \u201cMelagukan Sajak\u201d dan \u201cMengenal Pasti Watak dan Perwatakan dalam Cerpen.\nDalam program IFLA, para guru diberikan penerangan tentang pengenalan majalah Dewan Siswa dan Dewan Pelajar oleh Puan Siti Noorisa Abdul Khlil (Editor Dewan Siswa) dan Puan Fansurina Ramli (Editor Dewan Pelajar). Seterusnya, para guru dikehendaki menukarkan komik kepada cerpen dan menukarkan rencana kepada pantun sebagai tugasan semasa MDK berlangsung. Bahan untuk aktiviti yang dilaksanakan adalah menggunakan majalah Dewan Siswa dan Dewan Pelajar sepenuhnya.\nPara guru begitu teruja kerana menurut mereka, kedua-dua majalah ini bukanlah asing bagi mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana, mereka melanggan majalah ini dan dibaca untuk menambahkan pengetahuan semata-mata. Walhal mereka tidak mengetahui bahawa setiap ruangan dalam majalah tersebut boleh dijadikan aktiviti pembelajaran bersama-sama pelajar di dalam bilik darjah. \u00a0Selain itu, para guru ini mengakui bahawa aktiviti MDK begitu menyeronokkan, dan sesuai dengan keperluan semasa pelajar." "Guru Pembina Generasi Hebat dan Dinamik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 \u201cTanggungjawab dalam melahirkan generasi yang hebat dan menjadi pewaris negara akan datang terletak di bahu dan di tangan bakal guru.\u201d Petikan kata-kata tersebut merupakan antara inti pati ucapan perasmian Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia ke-11 oleh Menteri Kanan Pendidikan, YB Dr. Radzi Jidin.\n\nIstiadat tersebut diadakan pada 27 hingga 31 Mac di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Graduan yang menamatkan pengajian serta latihan perguruan di 27 institut pendidikan guru kampus dan English Language Teaching Centre (ELTC) menerima pengiktirafan melalui penganugerahan ijazah, diploma dan sijil. Graduan tersebut juga diraikan dalam satu istiadat konvokesyen berpusat berdasarkan sidang dan pengkhususan pengajian tertentu. Sebanyak 8799 orang pelajar bagi tahun 2020 dan 2021 terlibat dalam istiadat konvokesyen ini.\nSemasa ucapan perasmian, YB Menteri Pendidikan juga menekankan bahawa pentingnya proses menuntut ilmu yang berpanjangan. Walaupun telah tamat pengajian, namun pencarian ilmu harus diteruskan selagi hayat dikandung badan. Ujar beliau,\npara graduan harus memahami bahawa menuntut ilmu ibarat sentiasa berada dalam dunia perantauan. Sifat merantau dalam mencari dan menuntut ilmu harus diteruskan dalam kehidupan.\nSelain itu, beliau turut menyentuh tentang konsep \u201cSekolahku SEJAHTERA\u201d. Konsep tersebut mengandungi 14 elemen penting berkaitan dengan nilai-nilai murni yang membantu dalam membentuk murid yang berkualiti tinggi.\n14 elemen tersebut ialah selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi.\nBeliau menyatakan harapan agar para graduan turut bersama-sama dalam merealisasikan dan menerapkan elemen tersebut dalam keperibadian murid.\nDalam dunia yang semakin mencabar sekarang, para guru harus melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran serta cakna terhadap keadaan sekeliling yang sentiasa berubah. Guru yang memiliki sikap itulah yang akan melahirkan seorang murid yang bakal menjadi pemimpin yang akan membawa negara lebih maju ke hadapan. Beliau juga memberikan penghargaan kepada para graduan yang terpaksa melalui tempoh pembelajaran dalam situasi pandemik COVID-19 yang cukup mencabar. Cabaran yang dihadapi tersebut terbukti bukan menjadi batu penghalang kepada para graduan." "Memartabatkan Perjuangan Idea dan Pemikiran Ilmuwan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar\u00a0\u2013 Kepesatan dunia digital dan Internet tatkala memerangi COVID-19 sememangnya sesuatu cabaran besar bagi sesebuah institusi pendidikan, termasuklah Universiti Sains Malaysia (USM) untuk kekal relevan dalam usaha melahirkan siswazah yang berjaya.\nDalam hal ini, institusi pendidikan bukan sahaja dapat melahirkan siswazah yang berkualiti dan berintegriti sebagai pemimpin masa depan, namun penting juga bagi pihak berkuasa, pembuat dasar dan pelaksana dasar untuk menerima sebarang idea dan pemikiran ilmuwan dalam melakukan anjakan paradigma.\nTitah Raja Perlis,\u00a0Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Canselor USM berharap agar sumbangan ahli akademik dan ilmuwan USM terus dihargai, lantas menjadi sumber rujukan dalam menyelesaikan masalah negara. Baginda juga turut mendoakan agar USM terus berupaya melakukan perubahan demi kebaikan pembangunan masyarakat dan negara.\n\u201cSyabas dan tahniah kepada seluruh kepimpinan dan warga USM yang terus menunjukkan prestasi cemerlang meskipun berdepan dengan COVID-19 yang jelas mengubah norma kehidupan masyarakat sejagat.\n\u201cMaka itu, kita harus menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam menghadapi segala cabaran yang ada khususnya dunia digitalisasi ini,\u201d titah DYMM Tuanku Syed Sirajuddin ketika berkenan berangkat menandatangani plak semasa menyempurnakan majlis perasmian Ulang Tahun Penerbit USM ke-50 di Dewan Bakawali, Mess Pegawai Kanan Polis DiRaja Malaysia, Jalan Raja Muda, Kangar Perlis semalam.\nKeberangkatan tiba baginda yang diiringi oleh Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dalam majlis ini telah disambut oleh Naib Canselor, Prof. Dato\u2019 Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, Pro-Canselor, Timbalan Naib Canselor serta kepimpinan tertinggi universiti.\nMenariknya dalam majlis anugerah ini, DYMM Tuanku Raja sendiri telah menyampaikan Anugerah Sanggar Sanjung bagi kategori \u201cKetokohan\u201d sebagai tanda penghargaan terhadap pemimpin USM, manakala bagi kategori \u201cPaten\u201d disampaikan oleh Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dan kategori \u201cPenerbitan Jurnal dan Geran Penyelidikan Antarabangsa\u201d disampaikan oleh Tan Sri Dato\u2019 Dr. M. Jegathesan. Selain itu, penyerahan empat anugerah yang terdiri daripada \u201cPendidik Sanjungan\u201d, \u201cPentadbir Sanjungan\u201d, \u201cSanjungan Industri\u201d dan \u201cKepimpinan Masyarakat\u201d pula disampaikan oleh Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A.Hassan.\nPada masa yang sama, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr.) Hj. Mohd Ali Mohd Rustam dan isterinya, Toh Puan Datuk Wira Hajah Asmah Abdul Rahman\u00a0juga turut hadir ke majlis tahunan ini bagi mengiktiraf dan mendorong pencapaian warga\u00a0USM agar terus cemerlang dalam pelbagai bidang khususnya akademik, penerbitan, penyelidikan\u00a0dan pentadbiran sama ada di dalam negara mahupun di persada dunia." "Perjalanan Setahun SMJ\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu\u00a0\u2013 Dewan Sipadan Sabah International Convention Centre (SICC), pada pagi ini dilimpahi dengan cahaya gemerlapan dan tepukan gemuruh oleh kira-kira 2000 orang tetamu yang menghadiri Majlis Sambutan Setahun Hala Tuju Sabah Maju Jaya.\nHal ini dikatakan demikian kerana majlis yang penuh gilang-gemilang itu membawa nilai dan makna yang amat besar kepada rakyat di negeri ini untuk sebuah perjalanan dan langkah Sabah untuk terus ke hadapan.\n\u201cMajlis ini bukan sekadar meraikan sebahagian daripada pencapaian kita dalam tempoh setahun, tetapi majlis ini adalah wahana untuk kita bermuhasabah diri, wacana untuk kita berhadapan dengan realiti dan wadah untuk kita terus bersatu hati, meningkatkan khidmat bakti demi kepentingan pertiwi. Hala tuju ini merupakan satu perjalanan yang panjang. Demi memastikan kita sentiasa berada di landasan yang tepat, kita perlu menentukan garis masa dan melaksanakan retrospektif aspirasi, iaitu meninjau status prestasi, dan memperteguh tekad aspirasi,\u201d ucap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam ucapan perasmiannya pada majlis tersebut.\nBeliau turut mengingatkan bahawa kerajaan negeri yang terbentuk pada hari ini diperkukuh melalui Muafakat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) \u2013 Barisan Nasional (BN) dan ditubuhkan melalui mandat rakyat pada tarikh keramat 29 September 2020. Dalam tempoh genap enam bulan, iaitu pada 29 Mac 2021, kerajaan negeri telah membentangkan Hala Tuju Sabah Maju Jaya. Hala Tuju ini berteraskan Aku Janji GRS \u2013 BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 dan dimurnikan dengan aspirasi rakyat melalui pelbagai sesi libat urus.\n\u201cDalam Majlis Setahun Kerajaan GRS \u2013 BN Bersama Rakyat pada 29 September 2021, kita telah menzahirkan komitmen bahawa status pelaksanaan dan pencapaian setiap kementerian akan dibentangkan kepada umum pada setiap tahun bermula pada tahun pertama, iaitu pada 29 Mac 2022. Berikutnya, pada 25 Januari 2022, dalam Perhimpunan Penjawat Awam Bersama Ketua Menteri, saya telah mengarahkan agar pengisian Majlis Sambutan Setahun Hala Tuju SMJ disertakan dengan penganjuran hari terbuka untuk membolehkan rakyat mendengar, melihat dan merasai nilai dan makna di sebalik pelan pembangunan ini. Kini, saat yang dinantikan telah tiba. Bermula semalam, semua kementerian, pelbagai agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk agensi persekutuan telah mempersembahkan inisiatif dan program masing-masing melalui Showcase Sabah Maju Jaya di sekitar ruang legar di dewan ini. Pameran selama tiga hari hingga 30 Mac ini adalah terbuka kepada orang ramai,\u201d ucap Datuk Seri Panglima Hajiji.\nBeliau turut menjelaskan bahawa genap setahun yang lalu juga beliau telah menyerahkan Dokumen Hala Tuju SMJ kepada semua Ahli Jemaah Menteri sebagai simbolik amanah dan pertanggungjawaban untuk memimpin pelaksanaan pelan pembangunan ini di setiap kementerian. Pendekatan ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada manifestasi tekad dan komitmen barisan anggota pentadbiran kerajaan negeri dan pengurusan tertinggi setiap kementerian. Tujuan tidak lain tidak adalah untuk memastikan setiap peringkat kepimpinan diberikan penghakupayaan yang datang bersama pertanggungjawaban terhadap amanah yang digalas. Hal ini termasuklah tanggungjawab pelaporan kepada rakyat selaku pemegang taruh dan klien utama. Pendekatan ini juga menurut Ketua Menteri akan diperluas kepada semua peringkat termasuklah pengurusan badan berkanun, agensi awam hingga ke peringkat pentadbiran daerah.\n\u201cHasrat kita adalah untuk memastikan jentera kerajaan di semua peringkat menjunjung pelan ini ini sebagai satu amanah dan melaksanakan pelan pembangunan ini dengan sepenuh iltizam demi kepentingan anak watan dan tanah air tercinta. Pada masa yang sama, saya amat menghargai penglibatan jentera kerajaan persekutuan dalam majlis ini termasuklah penyertaan dalam pengisian wadah (showcase) sebagaimana yang saya hasratkan melalui Setiausaha Persekutuan Sabah pada Januari lalu. Saya mahu peranan jentera kerajaan persekutuan di Sabah terus diperkasakan seiring dengan jentera kerajaan negeri, sebagaimana sejak dari awal kita telah menjajarkan pelaksanaan Hala Tuju SMJ dengan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Sehubungan itu, sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri, saya mahu pelaporan status pencapaian inisiatif agensi persekutuan yang mempunyai hubung kait dengan teras serta objektif Pelan Pembangunan SMJ dijadikan satu daripada agenda Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg). Saya mahu sinergi antara jentera kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan dapat diperkasakan dan bergerak pantas secara seiring pada landasan yang tepat menuju destinasi yang sama. Hal ini merupakan antara objektif penganjuran majlis ini, iaitu untuk memastikan semua pihak mempunyai rasa kepunyaan bersama\u00a0kepada Hala Tuju Sabah Maju Jaya, dan rasa keperluan untuk bertindak segera bagi melaksanakan setiap inisiatif Sabah Maju Jaya atau lebih dikenali sebagai SMJ, serta rasa kebanggaan pencapaian (sense of accomplishment) ketika menjadi sebahagian daripada usaha menjayakan sesuatu inisiatif dalam Pelan Pembangunan SMJ,\u201d ucap Datuk Seri Panglima Hajiji.\nBeliau turut mengingatkan bahawa mencipta kejayaan bukan sesuatu yang mudah. Namun begitu, kita tidak akan merasai nikmat kejayaan selagi kita tidak merancang, membina tangga dan melangkah menuju mercu kejayaan. Atas sebab itu, sebaik-baik diberikan mandat untuk memimpin kerajaan negeri, beliau memfokuskan usaha untuk menyediakan rancangan dalam bentuk hala tuju pembangunan.\n\u201cSaya mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri dengan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan suka saya berkongsi beberapa cabaran utama sebagai satu retrospektif untuk melihat di mana kita bermula. Cabaran pertama merupakan keperluan mendesak untuk mengisi vakum dalam konteks lakaran agenda pembangunan. Sesebuah pentadbiran harus memiliki pelan perancangan termasuk meletakkan keutamaan mengikut tuntutan semasa. Kita tidak boleh menggerakkan kerajaan secara biasa, iaitu meneruskan apa-apa yang ada di atas meja atau di depan mata. Jika itu pendekatan yang dipilih, kita tidak akan dapat menggerakkan jentera kerajaan secara kolektif menuju satu destinasi dengan aspirasi yang sama,\u201d ucap Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.\nCabaran kedua menyaksikan berlaku tren kemorosotan pertumbuhan ekonomi negeri untuk tempoh tiga tahun secara berturut-turut. Bermula pada kadar pertumbuhan ekonomi yang agak tinggi, iaitu 8.1 peratus pada tahun 2017, pertumbuhan telah menguncup kepada kadar 1.5 peratus pada tahun 2018 dan terus menguncup kepada kadar 0.5 peratus pada tahun 2019. Pada ketika Kerajaan GRS-BN mula dibentuk pada penghujung September 2020, tren kemerosotan ini dijangka berterusan bagi tahun 2020 dengan kadar penyusutan hingga ke paras negatif. Cabaran ketiga dan merupakan cabaran yang amat getir adalah penularan pandemik COVID-19 di seluruh dunia. Hal ini dikatakan demikian kerana tidak pernah dalam sejarah seorang ketua menteri dan kerajaan pimpinannya yang baharu dibentuk serta merta berhadapan dengan kegawatan yang luar biasa. Krisis yang dihadapi melibatkan soal ancaman nyawa dan tekanan sara hidup rakyat serta gugatan ekonomi yang berpunca daripada faktor di luar kawalan semua pihak.Cabaran keempat pula berlaku apabila situasi menjadi bertambah mencabar apabila jentera kerajaan tidak dapat digerakkan sepenuhnya atas keperluan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).\n\u201cSaya amat bersyukur, setelah 18 bulan berlalu, iaitu sejak saya memimpin kerajaan, kita berupaya membendung keadaan dan bangkit daripada belenggu permasalahan dan untuk kesekian kalinya, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha menangani cabaran pandemik, khususnya buat para petugas barisan hadapan. Begitu juga penghargaan perlu diberikan kepada sekalian rakyat yang telah memberikan kerjasama terhadap segala usaha kerajaan dengan kesabaran, disiplin dan semangat kekitaan sebagai sebuah Keluarga Malaysia sebagaimana yang diterjemahkan melalui tema kita jaga kita\u201c.\nTambah beliau lagi, berkat kesungguhan dan muafakat semua pihak, usaha dilakukan telah menunjukkan perkembangan yang positif dan menghasilkan pelbagai pencapaian yang signifikan. Antara pemboleh daya penting adalah kemampanan fiskal. Keupayaan Sabah untuk meningkatkan perbelanjaan bagi faedah rakyat akan bergantung pada kemampanan hasil negeri. Maka itu, antara fokus Hala Tuju SMJ adalah untuk meningkatkan hasil negeri melalui pelbagai pendekatan termasuk strategi percukaian. Sebagaimana yang telah diumumkan, Sabah telah melakar sejarah baharu dengan kutipan hasil tertinggi negeri bagi tahun 2021. Pertama kali sejak merdeka Sabah berjaya menembusi angka RM5 bilion dengan jumlah keseluruhan kutipan bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2021 sebanyak RM5.449 bilion.\nKerajaan negeri juga ujar Datuk Seri Panglima Hajiji sedang dalam peringkat akhir memuktamadkan perundingan dengan kerajaan persekutuan berhubung dengan kajian semula pemberian khas kepada Negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.\n\u201cKita yakin rundingan ini akan dapat memberikan jumlah pertambahan pemberian khas pada kadar yang signifikan sekali gus akan membantu meningkatkan hasil negeri. Kita juga mensasarkan pertambahan hasil negeri dengan penerokaan sumber baharu, inisiatif pelaburan dan pelbagai aktiviti ekonomi lain melalui pembayaran seperti cukai, premium tanah dan royalti.\u00a0Sejajar dengan usaha menggalakkan penglibatan badan berkanun dan GLC dalam sektor ekonomi, kerajaan juga akan mempertimbangkan strategi pemerkasaan amalan tadbir urus korporat. Matlamat utama kita adalah untuk memastikan semua badan dan syarikat terlibat menunaikan tanggungjawab pembayaran dividen yang lebih tinggi. Pada tahun 2021, kerajaan negeri telah menerima sejumlah RM112.2 juta dividen daripada badan berkanun dan GLC yang merupakan peningkatan sebanyak 12.9 peratus berbanding dengan tahun 2020,\u201d ucap Datuk Seri Panglima Hajiji.\nYang turut disentuh termasuklah agenda meningkatkan kecemerlangan perkhidmatan awam termasuk badan berkanun dan agensi awam merupakan satu usaha berterusan sejajar dengan peranan penting dalam menjayakan hala tuju kerajaan. Antara pendekatan yang telah dilaksanakan termasuklah pengenalan Polisi Amalan Baik Peraturan Negeri Sabah (GRP Sabah), peluang pengajian dan latihan hingga ke peringkat doktor falsafah, latihan dalam perkhidmatan, pemerkasaan pentadbiran daerah, pewujudan pelan antirasuah dan pelbagai inisiatif lain.\nKerajaan negeri juga melaksanakan strategi untuk memberikan pendedahan awal kepada graduan muda tempatan untuk mendapat pengalaman dalam perkhidmatan awam melalui Program Hi-Talent dan Felo Sabah Maju Jaya. Program ini sekali gus menjadi platform untuk mengenal pasti potensi calon berkelayakan untuk dipertimbangkan perkhidmatan dalam kerajaan. Sementara itu, keberkesanan sistem penyampaian juga melibatkan pemboleh daya kerajaan digital yang berteraskan teknologi dan inovasi. Selain memanfaatkan pelbagai inisiatif program pendigitalan kerajaan yang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan melalui kerjasama pintar, kerajaan negeri juga telah berjaya merangka Pelan Transformasi Digital. Pelaksanaan pelan ini melibatkan tiga fasa, iaitu Fasa Automasi Digital, Fasa Transformasi Digital dan Fasa Inovasi Digital. Inisiatif Kerajaan Digital diyakini akan memacu usaha meningkatkan keberkesanan perkhidmatan dan sistem penyampaian kerajaan sekali gus membantu kejayaan pelan pembangunan negeri.\nMengakhiri ucapannya, Datuk Seri Panglima Hajiji menjelaskan bahawa secara keseluruhannya, telah banyak kejayaan yang dicapai dalam tempoh setahun Hala Tuju SMJ, namun masih banyak yang perlu terus diusahakan.\n\u201cSaya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam perjuangan murni ini. Perjalanan seterusnya menuntut kita bekerja dengan lebih keras dengan sederap langkah sebagai satu pasukan. Demi memperkemaskan gerak kerja penyelarasan di semua peringkat termasuk kerjasama dengan pihak yang berkepentingan, kita melihat keperluan untuk menginstitusikan Sekretariat Hala Tuju Sabah Maju Jaya sebagai satu badan penyelarasan dan pemantauan pelaksanaan. Dengan mekanisme yang lebih komprehensif dan tersusun, kita yakin akan dapat melonjakkan pencapaian pelan pembangunan SMJ. Maka itu, saya mengajak semua untuk bersatu menjayakan Hala Tuju SMJ. Marilah kita meletakkan kepentingan besar tanah air melebihi segala kepentingan lain. Kita pasti ada perbezaan, namun biarlah kita melihat kepada titik persamaan. Sungguhpun kita tidur lain-lain bantal, lain-lain bilik, dan mungkin lain-lain rumah, namun yang pasti, bumi tempat dipijak tetap sama \u2013 Sabah tanah air tercinta.\u00a0 Saya yakin kita punyai mimpi yang sama, hasrat dan cita-cita yang serupa, iaitu ingin melihat negeri Sabah yang lebih maju dan berjaya, aman dan makmur dalam Malaysia\u201d." "Sabah Mampu Kembali sebagai Kuasa Besar Industri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu\u00a0\u2013 Pelbagai strategi yang berkaitan dengan aspek pemboleh daya berjalan seiring dalam memacu pelaksanaan tiga teras utama Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Kejayaan tersebut diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dalam ucapan perasmiannya bersempena dengan Majlis Sambutan Setahun Hala Tuju Sabah Maju Jaya, yang berlangsung pada pagi ini, di Sabah International Convention Centre (SICC).\nMenurutnya, banyak inisiatif dan program yang telah direalisasikan di bawah teras pertama, iaitu melonjakkan pertumbuhan ekonomi melalui tiga Sektor Fokus Utama, iaitu Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan yang kelak akan dihuraikan oleh setiap kementerian yang bertanggungjawab.\nFokus pertumbuhan sektor pertanian adalah untuk membina rantaian nilai, khususnya pengeluaran, penghasilan, pemprosesan dan pemasaran. Selain itu, untuk memastikan sektor ini lebih kompetitif melalui teknologi dan inovasi, usaha pemodenan ini melibatkan kumpulan petani, penternak dan nelayan sekali gus membantu membina kapasiti mereka dengan pelbagai bantuan serta bimbingan. Sementara itu, pelbagai usaha sedang digerakkan untuk melonjakkan potensi sebenar sektor perindustrian negeri Sabah.\n\u201cKita optimis Sabah boleh kembali berada pada kedudukan sebagai kuasa besar industri (industrial powerhouse) di negara ini sebagaimana dalam era 1980-an. Maka itu, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuklah penambahbaikan infrastruktur, pembinaan kapasiti keusahawanan, penerokaan sumber khazanah secara mapan dengan rantaian nilai yang lebih tinggi, peningkatan pelaburan dan penyertaan syarikat tempatan dalam subsektor strategik,\u201d jelasnya.\nDalam konteks ini, antara yang diberikan fokus termasuklah meningkatkan penyertaan bermakna negeri dan syarikat tempatan dalam industri minyak dan gas. Kejayaan kerajaan negeri dalam menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS pada 7 Disember 2021 merupakan langkah penting merealisasikan hasrat tersebut. Melalui CCA, Sabah akan mempunyai suara, penyertaan dan perkongsian hasil yang lebih besar dalam industri minyak dan gas.\n\u201cTidak sampai sebulan dari tarikh CCA dimeterai, kita telah dapat melihat hasilnya dengan Pelancaran Pelan Induk Gas Sabah (SGM) pada 4 Januari 2022. SMJ Petroleum Sdn. Bhd. telah ditubuhkan sebagai entiti negeri yang akan menyelaraskan tindakan susulan dan kerjasama dengan PETRONAS serta pemain industri minyak dan gas yang lain. Kerjasama rapat ini bermatlamat untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi kemajuan industri berkenaan di negeri ini sekali gus melonjakkan rantaian nilai penyertaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkaitan dan syarikat-syarikat tempatan lain. Alhamdulillah, pada hari ini kita bakal menyaksikan majlis menandatangani perjanjian dan memorandum persefahaman yang melibatkan inisiatif pelaburan di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP),\u201d ucap Datuk Seri Panglima Hajiji.\nSementara itu, bagi sektor pelancongan, usaha sedang giat dilaksanakan bagi pembukaan produk pelancongan untuk pelancongan domestik dan sekali gus pembukaan sempadan negara secara berperingkat bermula 1 April 2022. Agensi-agensi berkaitan sedang melaksanakan promosi pelancongan yang lebih agresif, menyelenggarakan produk pelancongan sedia ada, memperkasa infrastruktur dan kemudahan asas, serta meneroka peluang baharu. Antara strategi yang dilaksanakan termasuklah mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan luar bandar bertaraf dunia sejajar dengan matlamat mencapai ASEAN Standard menjelang tahun 2025. Kini, Sabah mempunyai lebih daripada 500 orang pengusaha pelancongan desa berasaskan komuniti.\nSelain itu, kerajaan juga mengambil inisiatif untuk merintis lonjakan imej dan persekitaran bandar utama khususnya Bandaraya Kota Kinabalu sebagai pintu masuk udara utama. Selain menambah baik prasarana dan kebersihan, landskap dan wajah Kota Kinabalu pada masa hadapan akan berubah dengan pelaksanaan pelbagai jenis projek pembangunan seperti di kawasan Waterfront, Star City, Hyatt Centric, The Shore, Sadong Jaya, Coral Bay, Tanjung Aru Eco Development, Jesselton Quay Central, Pavillion Harbour City, Jesselton 101, Botanical Garden, pengindahan Menara Jam Atkinson dan banyak lagi.\nSecara keseluruhannya, lonjakan pembangunan ketiga-tiga sektor ekonomi utama di bawah Hala Tuju SMJ akan melibatkan inisiatif pelaburan sebagai enjin pertumbuhan. Sabah pastinya tidak boleh hanya bergantung pada inisiatif dan sumber domestik. Atas sebab itu, Datuk Seri Panglima Hajiji \u00a0amat bertegas dalam aspek keterbukaan dan komitmen dalam meningkatkan pelaburan.\n\u201cSering saya ulangi bahawa kita mesti mengamalkan pendekatan mesra pelabur termasuk dalam urusan birokrasi. Hal ini dikatakan demikian kerana penilaian persekitaran pelaburan yang kondusif itu bukan hanya dalam konteks kestabilan, infrastruktur fizikal dan kekayaan sumber, tetapi juga polisi serta peraturan kerajaan dan amalan tadbir urus serta sikap jentera sesebuah kerajaan. Saya menyeru semua agensi berkaitan untuk menjadikan inisiatif pelaburan asing yang melibatkan syarikat Kumpulan LINACO bagi penanaman kelapa bersepadu, dan syarikat SK Nexilis bagi pembuatan kerajang tembaga, sebagai contoh dan model kejayaan untuk merealisasikan pelaburan dalam tempoh kurang setahun dari tarikh MOU dimeterai,\u201d ujarnya.\nTeras utama kedua Hala Tuju SMJ, iaitu modal insan dan kesejahteraan rakyat akan digerakkan secara berterusan sebagaimana komitmen untuk bukan sahaja menjadikan negeri Sabah maju, tetapi rakyatnya juga berkemajuan. Pembangunan modal insan yang merupakan pelaburan masa hadapan dilaksanakan melalui penambahbaikan program-program sedia ada dan inisiatif-inisiatif baharu yang melibatkan pendidikan, latihan, bimbingan, bantuan pengembangan kerjaya dan keusahawanan. Antaranya inisiatif BUDI, BAKTI, BAIK, BISTARI, BISBAH, BAGUS, AKSA, Dewan Belia Sabah dan Majlis Perundingan Pelajar Sabah, PitchBorneo dan banyak lagi. Pada masa yang sama, Datuk Seri Panglima Hajiji turut menegaskan bahawa kerajaan terus komited untuk meningkatkan peluang biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pendidikan.\nKesejahteraan rakyat juga akan terus menjadi teras penting dalam dasar dan program kerajaan. Dalam tempoh pandemik, kerajaan negeri telah membelanjakan peruntukan sejumlah RM1.2 bilion bagi membantu rakyat. Jumlah ini tidak termasuk bantuan bulanan dan bantuan sekali beri yang disalurkan kepada golongan yang memerlukan bagi kes kesihatan, bencana dan lain-lain.\nSelain itu, pembinaan perumahan rakyat terus menjadi keutamaan. Antaranya termasuklah projek yang telah dan hampir siap, iaitu penyediaan sebanyak 750 unit rumah mampu milik di Papar dan di Tuaran. Sementara itu, dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), pembinaan sebanyak 175 unit rumah mampu milik sedang bermula yang melibatkan kawasan Kemabong, Sukau, Melalap dan Beluran. Turut dilaksanakan termasuklah pembinaan kompleks perumahan penjawat awam di tapak seluas 136 ekar di Papar.\nKualiti dan tahap kesejahteraan rakyat juga bergantung pada akses kepada jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau yang merupakan teras utama ketiga Hala Tuju SMJ. Keperluan penambahbaikan jaringan infrastruktur merupakan antara cabaran utama yang menuntut peruntukan yang amat besar. Kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan untuk mengenal pasti mekanisme penyelesaian. Di samping itu, kerajaan turut memastikan projek-projek berimpak yang telah diluluskan dapat segera dilaksanakan dan disiapkan mengikut jadual seperti Projek Lebuh Raya Pan Borneo, Jalan-jalan Luar Bandar dan Program JENDELA.\nTidak ketinggalan, kerajaan negeri juga sentiasa komited untuk melaksanakan semua inisiatif yang dirancang dalam agenda kelestarian hijau. Maka itu, Sabah akan memastikan sasaran sebanyak 30 peratus atau seluas 2.2 juta hektar kawasan hutan Sabah diwartakan sebagai Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPAs). Hal ini sekali gus menjadikan Sabah sebagai teras kepada pelaksanaan Heart of Borneo Initiative. Sabah juga telah mendahului rekod tertinggi dalam menjayakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bagi suku tahun pertama 2022. Selain itu, Jabatan Perhutanan Sabah telah berjaya merangka Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan 2022 \u2013 2036." "Ketua Menteri Sabah Melawat Reruai DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu\u00a0\u2013 Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dalam Majlis Sambutan Setahun Sabah Maju Jaya yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), pada petang ini turut meluangkan masa melawat reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah.\nKehadiran beliau disambut oleh Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat dan Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar yang turut menyampaikan bingkai gambar istimewa kepada Datuk Seri Panglima Hajiji yang memaparkan kulit Dewan Masyarakat \u00a0Edisi Khas, Setahun Sabah Maju Jaya. Lebih bermakna,\u00a0Dewan Masyarakat \u00a0Edisi Khas tersebut turut diedarkan kepada lebih daripada 2000 orang tetamu yang menghadiri majlis gilang-gemilang itu.\nReruai DBP Cawangan Sabah yang bernombor 27 juga berjaya mendapat perhatian pengunjung yang hadir setelah mereka tertarik dengan pelbagai bahan bacaan yang dipamerkan antaranya termasuklah Kamus Perdana, Kamus Murut Tahol \u2013 Melayu Dewan, majalah terbitan DBP dan pelbagai buku tulisan pengarang tersohor negara. Pengunjung turut diberikan diskaun istimewa sepanjang pameran berlangsung, iaitu dari 28 hingga 31 Mac 2022." "Penentu Sosial Kesihatan: Faktor Sosial Mempengaruhi Kesihatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nUsaha untuk meningkatkan kesihatan dalam kalangan rakyat Malaysia secara amnya memfokuskan kepada sistem penjagaan kesihatan yang tersedia di dalam negara. Walau bagaimanapun, kesihatan seseorang bukan sahaja ditentukan oleh elemen sistem kesihatan itu sendiri seperti nisbah doktor, jururawat atau bilangan kemudahan kesihatan kepada penduduk, namun perhatian perlu diberikan kepada faktor lain yang boleh menentukan kesihatan seseorang seperti faktor sosial, ekonomi dan persekitaran. Faktor tersebut dinamakan sebagai \u201cpenentu sosial kesihatan\u201d.\nMenurut Persatuan Kesihatan Dunia (WHO), penentu sosial kesihatan juga dikenali sebagai The Social Determinants of Health, yang merupakan faktor di luar bidang perubatan yang mempengaruhi atau menentukan tahap kesihatan seseorang. Hal ini bermaksud adalah sesuatu keadaan dalam persekitaran apabila seseorang itu dilahirkan, membesar, bermain, belajar, bekerja, beribadah, usia dan menjalani kehidupan yang dapat mempengaruhi kualiti hidup dan kesihatan seseorang. Antaranya termasuklah faktor seperti status sosioekonomi, pendidikan, perumahan, persekitaran, pekerjaan, sokongan sosial dan juga akses kepada sistem kesihatan.\nPenentu sosial kesihatan merupakan elemen yang sangat penting dalam usaha untuk meningkatkan kesihatan dan merapatkan jurang ketidaksamaan kesihatan sesebuah masyarakat. Walaupun sistem penjagaan kesihatan sesebuah negara itu baik, namun perkara tersebut bukanlah satu-satunya penentu bahawa masyarakatnya mempunyai kesihatan yang baik.\nBerdasarkan kajian, didapati bahawa hasil kesihatan seseorang atau masyarakat itu ditentukan daripada pelbagai faktor penyumbang seperti genetik, amalan sikap kesihatan dan faktor sosial serta persekitaran. Kajian juga mendapati bahawa sikap dan amalan kesihatan seperti merokok, pemakanan, aktiviti fizikal dan status sosioekonomi itu menjadi pemacu utama dalam menentukan hasil atau tahap kesihatan seseorang.\nPada masa yang sama, faktor sosial dan ekonomi juga membentuk amalan dan sikap seseorang itu dalam menguruskan kesihatan mereka. Sebagai contoh, kanak-kanak yang lahir dari latar belakang keluarga yang susah dan mempunyai taraf pendidikan yang rendah adalah lebih cenderung untuk hidup dalam persekitaran yang tidak kondusif seperti keadaan perumahan yang tidak selamat, kotor, sesak dan kekurangan kemudahan awam. Keadaan seumpama ini berpotensi untuk merencatkan perkembangan kanak-kanak tersebut dari segi fizikal, mental dan emosi mereka. Pemerhatian lain juga menunjukkan apabila semakin rendah taraf sosioekonomi seseorang itu, maka taraf kesihatan mereka juga akan merudum.\n\nKestabilan dan kemaslahatan ekonomi antara satu daripada faktor utama untuk menentukan kesihatan seseorang. Di Malaysia, hampir enam peratus masyarakat hidup dalam kemiskinan dan kebanyakannya tidak mempunyai keperluan asas yang mencukupi seperti makanan sihat, penjagaan kesihatan dan perumahan yang selamat.\nIndividu yang tidak mempunyai pekerjaan atau pendapatan yang stabil juga dilaporkan lebih cenderung untuk hidup dalam kemiskinan dan tidak sihat. Tambahan pula, individu kurang upaya atau mempunyai penyakit juga berisiko dari sudut ekonomi dan kesihatan, disebabkan\u00a0oleh\u00a0keupayaan mereka untuk bekerja lebih terbatas dan sukar atau tidak mempunyai pekerjaan.\nPersekitaran tempat\u00a0tinggal dapat memberikan\u00a0kesan besar kepada tahap kesihatan dan kemaslahatan. Di Malaysia, ramai golongan masyarakat dari latar belakang sosioekonomi rendah,\u00a0terutamanya golongan miskin bandar, tinggal di perumahan atau kejiranan yang tidak selamat, kotor, sesak dan tidak mempunyai kemudahan asas yang sepatutnya. Masalah ini tidak hanya berlaku dalam kalangan golongan bersosioekonomi rendah, malah turut berlaku dalam kalangan masyarakat vulnerable,\u00a0seperti pendatang asing dan orang gelandangan. Persekitaran seumpama itu cenderung untuk mendatangkan kesan buruk terhadap kesihatan penduduk dari segi fizikal, mental dan sosial.\nTahap pendidikan seseorang juga mempunyai peranan yang besar dalam menentukan kesihatan. Pemerhatian lepas menunjukkan individu yang mempunyai pendidikan yang lebih tinggi cenderung untuk menjadi lebih sihat dan mempunyai \u00a0jangka hayat yang lebih panjang. Sebagai contoh, kanak-kanak yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti seperti kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah, kanak-kanak kurang upaya, dan kanak-kanak yang selalu berdepan dengan sebarang bentuk diskriminasi sosial (seperti kes buli), lebih sukar untuk mengikuti proses pembelajaran. Mereka berisiko untuk tidak menamatkan persekolahan dan tidak dapat meneruskan pembelajaran ke peringkat seterusnya seperti institusi pengajian tinggi. Hal ini menyebabkan mereka sukar untuk mencari pekerjaan atau hanya mampu bekerja dengan pendapatan yang rendah, lantas lebih cenderung untuk mendapat masalah kesihatan seperti penyakit jantung, kencing manis dan kemurungan.\nHubungan dan interaksi seseorang dengan ahli keluarga, rakan, rakan sekerja dan ahli komuniti mempunyai impak yang besar dalam menentukan kesihatan dan kemaslahatan seseorang. Ramai orang berdepan cabaran dan kesukaran yang tidak mereka minta atau dielakkan seperti terpaksa tinggal di kejiranan yang tidak selamat,\u00a0berdepan dengan diskriminasi, mempunyai konflik dengan orang lain atau mempunyai masalah untuk mendapatkan keperluan asas. Hal ini dikatakan demikian memberikan\u00a0impak negatif kepada kesihatan dan keselamatan seseorang sepanjang hidupnya. Hubungan dan interaksi yang sihat serta positif di rumah, tempat kerja, dan komuniti dapat mengurangkan kesan negatif terhadap kesihatan.\nWalau bagaimanapun, sesetengah golongan yang kurang bernasib baik seperti kanak-kanak dari kekeluargaan yang bermasalah atau keluarga yang terpaksa berdepan dengan diskriminasi sosial (seperti perkauman) akan lebih cenderung untuk tidak mendapat kasih sayang atau sokongan moral yang sepatutnya daripada\u00a0kalangan ahli keluarga dan masyarakat. Oleh itu, pendekatan yang sepatutnya penting untuk membantu golongan tersebut mendapat sokongan komuniti dan sosial yang diperlukan bagi meningkatkan tahap kesihatan dan kemaslahatan mereka.\nAkses kepada sistem dan kemudahan kesihatan yang tersedia, berkualiti dan tidak membebankan dapat menentukan kesihatan dan kemaslahatan seseorang. Sistem kesihatan di Malaysia terdiri daripada sistem penjagaan kesihatan awam dan swasta, yakni\u00a0rakyat mempunyai pilihan sama ada mendapatkan rawatan kesihatan di sektor awam atau swasta. Kos rawatan yang murah dan mempunyai subsidi kerajaan menjadi pilihan utama golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk mendapatkan rawatan di kesihatan sektor awam, manakala golongan yang mampu dan berpendapatan tinggi lebih cenderung untuk memilih kesihatan sektor swasta.\nNamun begitu, faktor\u00a0seperti masa menunggu yang singkat, kualiti dan mutu servis kesihatan yang lebih baik, serta kemudahan yang canggih di kemudahan swasta mendorong bukan sahaja golongan berpendapatan tinggi, malah juga daripada\u00a0golongan berpendapatan sederhana dan rendah untuk menggunakan kemudahan tersebut. Kemudahan kesihatan swasta seperti klinik dan farmasi juga adalah lebih banyak dibandingkan dengan kemudahan di pusat perubatan awam, yakni lebih mudah untuk di akses oleh segenap masyarakat tidak kira tempat, masa dan waktu. Walau bagaimanapun, trend\u00a0sedemikian tidak kondusif dan boleh membebankan golongan berpendapatan rendah, terutamanya melibatkan kewangan kerana mereka terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk mendapatkan servis kesihatan seperti kos membeli ubat-ubatan, konsultasi doktor dan sebagainya.\nAkses kepada kemudahan kesihatan juga terhad kepada sesetengah golongan masyarakat di Malaysia,\u00a0terutamanya bagi individu atau komuniti yang tinggal di kawasan pedalaman, iaitu kedua-dua kemudahan kesihatan awam atau swasta adalah sangat terhad disebabkan\u00a0oleh\u00a0faktor geografi, kekurangan pekerja kesihatan dan sebagainya. Masalah akses kepada kesihatan juga dihadapi oleh golongan vulnerable seperti pendatang asing, pelarian, orang kurang upaya, dan golongan berisiko seperti pekerja seks komersial.\nUsaha untuk menangani penentu sosial kesihatan dengan sebaik-baiknya adalah wajar untuk meningkatkan tahap kesihatan dan merapatkan jurang ketidaksamaan kesihatan dalam kalangan masyarakat. Antara inisiatif yang boleh diambil\u00a0adalah seperti berikut:\nNamun begitu, tidak dinafikan bahawa usaha untuk menangani isu ketidaksamaan kesihatan melalui penentu sosial kesihatan merupakan isu yang kompleks dan pelbagai cabaran\u00a0harus ditempuhi. Oleh itu, usaha tersebut memerlukan komitmen dan kerjasama daripada pemegang taruh yang terlibat di dalam dan luar sektor perubatan, seperti kerajaan, pemimpin politik, ahli profesional kesihatan, ahli akademik dan masyarakat\u00a0umum.\nSecara tuntas, sebuah negara akan menjadi negara maju dan membangun\u00a0apabila rakyatnya\u00a0hidup dalam persekitaran sihat. Sistem perkhidmatan kesihatan di sebuah negara itu hanya satu daripada pelbagai dimensi yang boleh menentukan tahap kesihatan dan kemaslahatan rakyatnya, yakni\u00a0faktor lain seperti penentu sosial kesihatan perlu untuk diambil kira.\nDr. Mohamed Fakhri Abu Baharin,\u00a0Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pensyarah Kanan Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia." "Tulisan Jawi yang Tidak Pernah Mengalah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nZaman kesultanan Melayu telah menyaksikan tulisan Jawi sebagai nadi penting yang menjadi komunikasi tulisan antara kerajaan Melayu untuk berhubungan antara satu sama lain menerusi pengutusan warkah malahan pihak Eropah juga telah belajar dan menggunakan tulisan Jawi serta menggunakan medium yang sama untuk berurusan dengan pemerintah kerajaan Melayu.\nHal ini membuktikan bahawa tulisan Jawi mempunyai keistimewaannya tersendiri sehingga diangkat sebagai tulisan penghubung masyarakat dunia. Walaupun penaklukan bumi bertuah ini telah terjadi dan berkembangnya tulisan Rumi Latin yang tidak dapat disekat, dokumen pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu tetap ditulis dalam tulisan Jawi.\nTulisan yang melambangkan kemajuan dan kemegahan tamadun Melayu ini acap kali menghadapi onak durinya yang tersendiri. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 menyebut, \u201cTulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi, dengan syarat bahawa tulisan ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi bagi bahasa kebangsaan\u201d sebenarnya telah memberikan cabaran tersirat kepada tulisan Jawi.\nTanpa disedari, penggunaan tulisan Jawi semakin menapak ke belakang, ditinggalkan oleh tulisan Rumi yang semakin mekar dan berasimilasi dalam kehidupan masyarakat. Perkara yang paling sadis apabila terdapat ideologi yang menjajah minda dan menimbulkan persepsi negatif kepada tulisan Jawi yang kononnya tidak mesra pengguna, bersifat ortodoks dan tidak relevan untuk diaplikasikan dalam arus perdana.\nProfesor Dr. Kang Kyoung Seok, pakar Jawi dari Korea sering kali menyatakan dalam kajian yang dilakukannya bahawa tulisan Jawi akan mengalami kepupusan dalam jangka masa 10 tahun hingga 20 tahun jika tidak lagi dipraktikkan. Seharusnya pernyataan daripada sarjana ini diambil dengan langkah serius. Sikap membungkamkan tulisan Jawi seharusnya dibuang dengan tidak menjadikannya sebagai tulisan alternatif atau digunakan semasa perlu sahaja. Masyarakat perlu sentiasa sedar bahawa tulisan ini ialah identiti kepada masyarakat Malaysia.\nKita sangat berbangga dengan hasil manuskrip Melayu yang telah menjadi robekan bangsa asing untuk mengetahui falsafah dan pemikiran bangsa Malaysia, tetapi tetap membiarkan ilmu yang terkandung di dalamnya terbengkalai tanpa waris penelaah. Respons membatu terhadap situasi tersebut menyebabkan nasib tulisan Jawi ibarat nyawa di hujung tanduk. Kesan yang paling nyata apabila bahan berharga tersebut hanya selayaknya menjadi pameran tanpa diulit dengan sebaik-baiknya.\nPendigitalan manuskrip Melayu yang tidak dinafikan menelan perbelanjaan yang tinggi juga tidak akan menjadi pemangkin kepada penyelongkaran ilmu watan jika gagal menguasai tulisan Jawi. Kelekaan yang berpanjangan seperti ini akan merugikan kita sendiri. Walau bagaimanapun, terdapat usaha gigih daripada para pejuang tulisan Jawi untuk membendung masalah ini daripada berterusan.\nEvolusi sistem tulisan Jawi yang bermula daripada Sistem Ejaan Jawi Pakatan sehinggalah Sistem Ejaan Jawi Yang Disempurnakan bertujuan untuk merekayasa tulisan Jawi agar sentiasa relevan dan mengikut peredaran masa serta dapat digunakan dalam semua bidang. Selain dapat berdaya saing di persada Revolusi Industri 4.0, slot seperti Klinik Jawi yang dikendalikan oleh pakar dan disiarkan di radio dan di Facebook Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) merupakan suatu inisiatif bagi menjelaskan padanan penggunaan ejaan dengan istilah dalam bidang profesional. Slot-slot seperti ini perlu diperluaskan di semua saluran radio agar setiap lapisan masyarakat tanpa mengira umur, bangsa serta agama mendapat manfaat daripadanya dengan lebih memahami kaedah yang betul mempelajari tulisan Jawi.\nPenulis sangat kagum dan bangga apabila membaca tulisan Jawi yang digunakan pada nama bangunan, gedung perniagaan, papan iklan, nama jalan dan juga pejabat. Hal ini menandakan bahawa tulisan Jawi menjadi pilihan utama berselang seli dengan tulisan lain. Jika pergi ke beberapa negeri, misalnya ke Kelantan, Terengganu dan Johor, mata dan mulut kita akan turut sama berkolaboratif dengan tulisan tersebut.\nNamun demikian, kita tidak ingin tulisan tersebut hanya menjadi seperti seni arca tontonan bacaan di samping terpesona akan bentuk tulisannya yang cantik semata-mata. Oleh itu, untuk menghidupkan suasana tersebut, kita perlu meraikan tulisan Jawi menjadi lebih berdimensi. Misalnya, dengan menggunakannya sebagai tanda pada harga, tulisan pada logo atau pakaian uniform pekerja dan plat nombor kenderaan.\nKempen \u201cHari Jumaat Hari Jawi\u201d yang diperkenalkan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada tahun 2020 merupakan iltizam bagi menzahirkan pemartabatan tulisan Jawi di rangkaian televisyen utama negara. Penggunaan tulisan Jawi di paparan Berita Al-Hijrah membuktikan bahawa tulisan ini berwibawa dan dapat menyampaikan maksud tanpa sebarang cacat cela.\nKempen seperti ini perlu digiatkan lagi dengan pemaparan tulisan Jawi pada setiap iklan televisyen dan juga perlu memberikan ruang slot secara visual untuk mempromosikan tulisan ini. Selain itu, bagi menyemarakkan lagi tulisan Jawi di seluruh negara, perlu ada satu acara sambutan seperti Dekad Bahasa Kebangsaan yang diadakan di setiap zon negeri secara berjadual.\nKepemimpinan melalui teladan yang ditunjukkan oleh mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Albakri juga perlu dicontohi. Beliau telah menggunakan tulisan Jawi dalam urusan rasmi jabatan tersebut melalui kenyataan media, kepala surat rasmi menteri dan juga media sosial rasmi jabatan tersebut. Tindakan ini telah mendapat sokongan penuh daripada mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada tahun 2021 dalam Majlis Pelancaran Buku Budi Asas Tamadun dan Pameran Jawi Jiwa Bangsa, Seni Tonggak Budaya di Pusat Pelancongan Malaysia yang menggesa agar agensi kerajaan dan tidak terkecuali pihak swasta, bersama-sama mempromosikan penggunaan tulisan Jawi.\nWalaupun dikotomi yang wujud dari pelbagai sudut, perjuangan untuk tulisan Jawi tidak pernah luntur. Penerbitan Kamus Dewan Perdana pada tahun 2020 ialah satu usaha mengangkat maruah tulisan Jawi sebagai tulisan bagi bahasa Melayu. Satu perkembangan yang sangat memberangsangkan apabila pelbagai aplikasi secara dalam talian dibangunkan untuk memasyarakatkan tulisan Jawi kepada tulisan Rumi di arena teknologi multimedia.\nAntaranya termasuklah http://ebayt.muip.gov.my/jawi/, https://www.ejawi.net/converterV2.php?go=rumi dan Jawigram. Pembangunan aplikasi teknologi ini tidak pernah terpadam malahan tumbuh seperti cendawan selepas hujan untuk terus membantu masyarakat yang ingin mengetahui tentang pemodenan ejaan tulisan Jawi.\nPengetahuan tentang tulisan Jawi ini perlulah berkesinambungan, iaitu dari peringkat sekolah rendah dengan pembelajaran asas dan seterusnya dikembangkan dan diperkukuhkan lagi di peringkat menengah dan juga universiti. Gerak kerja ini bukanlah dipusatkan kepada kursus Pendidikan Islam semata-mata tetapi perlu diperluaskan menerusi subjek lain atau kursus yang berdiri sendirinya dengan nama yang cenderung tentang tulisan Jawi.\nMemang tidak dapat disangkal, dengan mempelajari tulisan Jawi akan dapat membantu umat Islam membaca al-Quran. Namun begitu, janganlah hal ini dijadikan alasan utama kepada pihak lain untuk tidak mempelajari tulisan Jawi. Oleh itu, cadangan seperti aktiviti pembacaan prosa ataupun puisi dalam tulisan Jawi seperti\u00a0 buku bacaan wajib dengan adanya penilaian peperiksaan perlu diperkenalkan. Perkara ini akan menyebabkan ahli masyarakat cakna dan mempelajari tulisan ini.\nWalaupun pelbagai desakan untuk memartabatkan tulisan Jawi sering kedengaran namun hal ini tidaklah berpanjangan. Namun begitu, hal ini tidak pernah mematahkan semangat para pejuang tulisan Jawi yang silih berganti malahan perjuangan ini telah mewujudkan peminat tegar yang baru berkecimpung untuk meneruskan legasi ini. Tulisan Jawi tidak akan menjadi seperti lalang yang ditiup angin kerana prinsipnya teguh dan tidak pernah mengalah dalam arus globalisasi demi warisan bangsa dan negara.\n\u00a0\n\u00a0\n********************************************************************************\nProfesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad \u2212 Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia." "Sains Teknologi dan Inovasi Pemacu Kemajuan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu\u00a0\u2013 \u00a0Sains teknologi dan inovasi merupakan pemacu terpenting dalam kemajuan sesebuah negara. Hal ini dibincangkan dalam program Ekadasa Sabah Maju Jaya 2022, yang bertajuk Modal Insan: Memperkasakan Ekosistem STIE di Sabah, yang berlangsung pada pagi ini, di Sabah International Convention Centre (SICC).\nAhli panel yang diundang untuk menjayakan forum ini, \u00a0iaitu Ketua Pengarah Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah, Dr. Ramzah Dambul; Pengarah Eksekutif Akademi Sains Malaysia, Hazami Habib; dan Pegawai Interim SMJ Hi-Talent, Verniun Maidin. Sementara itu, Pengarah Eksekutif Sabah Creative Economy & Innovation Centre, Viviantie Sarjui sebagai moderator forum.\nMenurut Dr. Ramzah, negara pernah berada dalam kedudukan yang terbaik dalam bidang sains teknologi dan inovasi namun kita bergerak agak perlahan dan kini jauh ketinggalan berbanding dengan Korea. Hal ini dikatakan demikian kerana korea menjadikan sains teknologi dan inovasi sebagai pemacu yang menggerakkan negara tersebut. Hal ini berbeza daripada negara kita yang menjadikan bidang tersebut sebagai alat semata-mata. Walhal menurutnya, Sabah khususnya memiliki seluruh kekuatan yang boleh memacu sains teknologi dan inovasi secara menyeluruh dan dalam semua peringkat perkhidmatan dan kehidupan.\nTambahnya lagi, Sabah juga mempunyai \u201cramuan\u201d yang mencukupi dan akar umbi yang berkemahiran dalam pelbagai bidang, namun dengan ramuan yang mencukupi itu tidak akan menjadikan kita maju jika tidak ada usaha yang menggerakkannya. \u201cMisalnya, kita ada ayam dan ramuan yang mencukupi namun semua ramuan itu tidak akan \u2018berlari\u2019 ke dalam periuk untuk dimasak menjadi lauk yang menyelerakan. Kita perlu berusaha dengan segala kekuatan yang kita ada. Untuk maju, sains teknologi dan inovasi ini perlu menjadi pemandu sosioekonomi kita\u201d ujarnya.\nSementara itu, Hazami turut mengakui bahawa Malaysia mempunyai keupayaan untuk mencapai kemajuan yang dipacu oleh perkembangan sains dan teknologi. Oleh itu, semua pihak yang berkepentingan perlu meletakkan visi Kementerian Sains, teknologi dan Inovasi, iaitu\u00a0 Negara Berteknologi Tinggi melalui Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekosistem (STIE) sebagai keutamaan dalam semua bidang. Hal ini dikatakan demikian kerana menerusi STIE, Malaysia akan menjadi negara berteknologi tinggi dengan menerajui teknologi dan inovasi terkini untuk meningkatkan daya saing global negara; memperluas pembangunan tekonogi negara dengan memantapkan dasar dan peraturan; menyediakan perkhidmatan dan pemboleh daya STIE yang berkesan dan cekap melalui tadbir urus yang tangkas; memperhebat bakat melalui pendekatan inklusif untuk penyampaian berprestasi tinggi; dan komunikasi sains yang berkesan bagi mempercepat pertumbuhan STIE.\nBagi anak muda, Verniun pula berpandangan bahawa pandemik COVID-19 telah mempercepat penggunaan dan keperluan sains teknologi dan inovasi dalam kalangan rakyat di negara ini. Di Sabah, pascapandemik COVID-19 menyaksikan lebih ramai yang celik komputer dan banyak bidang kehidupan berubah ke aras yang lebih baik, cekap dan pantas. \u201cKita melihat dari sisi yang positif apabila pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia, kita tidak dapat berhubung dan seluruh kehidupan kita tersekat. Maka itu, semua pihak beralih kepada kehidupan baharu dengan menjadikan teknologi sebagai penghubung utama untuk meneruskan kehidupan. Hal yang demikian juga dalam bidang pendidikan apabila kita melalui fasa baharu pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringat universiti,\u201d ujar Verniun." "UMS Lahirkan Graduan Berkualiti Tinggi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu\u00a0\u2013 Pada pagi ini, bersempena dengan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-22 bagi Graduan Tahun 2020, sebanyak 4728 UMS menerima pelbagai anugerah tamat pengajian dalam pelbagai bidang di peringkat pascasiswazah dan prasiswazah.\nMenurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin, jumlah tersebut merangkumi 67 orang penerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), 452 orang penerima Ijazah Sarjana, 83 orang penerima Diploma Pascasiswazah, dan 4126 orang graduan penerima Ijazah Sarjana Muda. Pada majlis ini juga, 134 orang graduan antarabangsa daripada 17 buah negara termasuk Amerika Syarikat, Korea, Jepun, Mesir, Oman, Thailand, Indonesia, Brunei dan China turut menerima ijazah masing-masing.\nDalam ucapannya, Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq turut mengingatkan semua graduan bahawa ketika mereka bersusah payah berjuang mendapatkan segulung ijazah, mereka bukanlah berseorangan. Doa, dorongan dan pengorbanan ibu bapa, ahli keluarga, sahabat handai, para pensyarah serta seluruh warga UMS sentiasa bersama mereka, hinggalah pada hari ini mereka\u00a0mampu menapak di atas pentas penganugerahan berprestij pada majlis gilang-gemilang ini.\n\u201cMaka dengan itu, saya ingin mengajak para graduan untuk bangun dan (berdiri) untuk merenung wajah ibu dan ayah, keluarga, serta para pensyarah anda. Kepada mereka dan kepada diri anda, marilah sama-sama kita melahirkan rasa kegembiraan dan tanda syukur dengan memberikan tepukan yang paling gemuruh! Terima kasih semua!,\u201d ucap Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq.\nTambahnya lagi, ilmu yang dimiliki oleh graduan merupakan satu amanah dan tanggungjawab bagi membina kesejahteraan negeri dan negara yang tercinta. Dalam menggalas amanah dan membina kesejahteraan tersebut, graduan perlulah sentiasa bertekad cemerlang kerana mereka yang cemerlang sekalipun masih memerlukan tekad untuk lebih cemerlang. \u00a0Demikianlah uniknya moto UMS yang kini mencecah usia 28 tahun sejak penubuhannya pada tahun 1994.\nPara graduan juga diingatkan agar memahami bahawa walau setinggi manapun ilmu, sekiranya disalahgunakan akan membawa kerosakan kepada masyarakat dan negara yang tercinta ini.\n\u201cNamun begitu, saya yakin graduan UMS telah ditanam dengan nilai-nilai murni yang mampu melestarikan adab dan sopan kepada persekitaran. Nilai murni ini seharusnya terpahat di dalam minda dan sanubari serta dihayati bagi membentuk keperibadian yang baik agar anda mampu menjadi sandaran memimpin masyarakat di negara ini pada masa hadapan\u201d.\nProfesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq juga menjelaskan bahawa UMS sentiasa berusaha memastikan univeristi itu terus berusaha melahirkan graduan yang berupaya berhadapan dengan cabaran Revolusi Industri 4.0. Penerapan nilai positif antaranya berminda usahawan, berinovatif, dan diperkasakan dengan nilai kemanusiaan yang holistik akan menyediakan graduan mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang pekerjaan.\nLantaran itu, UMS telah mencipta rekod tersendiri apabila kadar kebolehpasaran graduan (GE) UMS pada tahun 2021 meningkat ke angka 96.2 peratus. Kejayaan ini merupakan tahun ketiga kadar kebolehpasaran graduan UMS melebihi 90 peratus yang bermula dengan 90.44 peratus pada tahun 2019; 92.02 peratus pada tahun 2020; dan terkini 95.04 peratus untuk tahun 2021. Pencapaian pada tiga tahun berturut-turut ini merupakan lonjakan yang signifikan berbanding dengan kadar GE yang tidak pernah melepasi 60 peratus sejak tahun 2014.\n\u201cPada tahun 2021 juga menyaksikan UMS berada pada kedudukan ke-1001 hingga 1200 dalam QS World University Rankings. UMS telah berjaya memperbaik kedudukan dalam World University Rankings by Subject apabila berada dalam Top 350 bagi subjek Agriculture and Forestry. UMS juga telah memperbaik kedudukannya dalam kelompok 33 peratus universiti terbaik di Asia pada tahun 2021 berbanding dengan kelompok 37.9 peratus pada tahun 2020 dan 40.8 peratus pada tahun 2019. \u00a0Selain itu, dalam UI Greenmetric World University Rankings pula, pada tahun 2021 juga menyaksikan UMS berada pada kedudukan ke-67 dan memperbaik pencapaian untuk menjadi dalam kalangan tujuh peratus universiti lestari terbaik dunia dan mengekalkan kedudukan ketiga terbaik pada peringkat kebangsaan dan ke-20 di peringkat Asia. Oleh itu, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga UMS dan juga kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada pencapaian UMS pada hari ini. Insya-Allah dengan kefahaman yang mendalam terhadap visi dan misi UMS, serta keikhlasan kita menggapai kecemerlangan, tiada halangan tidak mampu diatasi. Bak kata bidalan Melayu membujur lalu, melintang patah gunung tinggi mampu didaki, lurah dalam mampu dituruni dan tiada lautan yang tidak mampu direnangi,\u201d ucap Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq." "Transformasi Kampung Nelayan Warna-warni\u00a0Aset Pelancongan Negeri Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Perlis\u00a0\u2013 Hasil daripada kunjungan ke Kampung Nelayan Warna-warni, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam menyatakan kekaguman beliau terhadap perubahan dan kemajuan kawasan perkampungan itu melalui Projek DiRaja Program Transformasi Kampung.\nMenurut TYT\u00a0 Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali, transformasi pembangunan yang dilaksanakan ini amat baik dan berpotensi untuk menggamit pelancong dengan penambahan tarikan elemen kebersihan dan keindahan, selain mewujudkan lebih banyak tempat penginapan yang melibatkan kerjasama penduduk seperti inap desa dan motel pelancongan.\nMenyingkap usaha rakan sinergi yang dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan pelbagai agensi serta masyarakat setempat wajar diberikan kepujian. TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali turut menzahirkan rasa bangga dan berharap agar semua pihak sentiasa menghargai keindahan alam yang merupakan aset berharga di negeri Perlis.\nDemikianlah antara perkongsian TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali kepada Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan menghadiri program Kayuhan MAIPs Peduli (Khas) Kali ke-25 bagi tahun 2022 di sekitar Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis yang diadakan majlis penutupannya di Pengkalan Lama Pulau Ketam.\nBerangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda sulung baginda berdua, Yang Amat Mulia Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail. Turut hadir, YABhg. Toh Puan Datuk Wira Hajah Asmah Abdul Rahman.\n\nSemasa lawatan di Kampung Nelayan Warna Warni, baginda telah disambut oleh kepimpinan masyarakat setempat dengan penuh ramah dan meriah sekali, serta\u00a0merasmikan \u201cRumah Melaka\u201d\u00a0yang dicat indah dengan warna bendera negeri Melaka di Kampung Seberang Alor yang diselaraskan pelaksanaannya oleh Rejimen 504 Askar Wataniah.\nDalam satu kenyataan media, Yang di-Pertua Negeri Melaka dikatakan demikian berada di negeri Perlis selama tiga hari, iaitu 27 hingga 30 Mac 2022 bagi menghadiri Majlis Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Pembangunan (Hon. D. Dev. Econs) sempena sidang pertama Upacara Konvokesyen Ke-59 Universiti Sains Malaysia (USM). Majlis ini disempurnakan oleh Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail selaku Tuanku Canselor di Istana Arau.\nBeliau dan YABhg. Toh Puan turut menghadiri Majlis Anugerah Sanggar Sanjung 2020 USM yang diadakan di Mess Pegawai Kanan PDRM di Jalan Raja Muda, Kangar yang dirasmikan oleh DYMM Tuanku Raja dan juga Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.\nSelain mengiringi\u00a0 DYTM Tuanku Raja Muda dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda ketika di Perlis dalam program berbasikal amal tersebut, TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Tun Mohd Ali juga meluangkan masa untuk melawat Ladang Harumanis Aji Heritage Farm di Utan Aji, Superfruits Valley di Chuping, mendapat taklimat berkenaan dengan pembangunan IBC CVIA di Chuping, Padang Besar dan juga Taman Rimba Herba di Bukit Ayer." "RM2 Juta Diperuntukkan untuk Baucar Buku Semarak Membaca 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyerahkan peruntukan bernilai kira-kira RM2 juta kepada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dalam program Majlis Penyerahan Baucar Buku Semarak Membaca 2022 yang berlangsung di PNM pagi semalam.\nProgram di bawah Insentif Pemberian Baucar dan Diskaun bagi Produk Kesenian dan Kebudayaan pada tahun 2022 ini dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri.\n\u201cPandemik yang melanda seluruh dunia telah menyebabkan kejatuhan jualan fizikal di semua kedai buku, serta pembatalan semua acara pesta buku utama seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), Big Bad Wolf, Popular Bookfest, dan pelbagai lagi pesta buku peringkat negeri,\u201d ujar YB Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri semasa ucapan perasmian Majlis Penyerahan Baucar Buku Semarak Membaca 2022.\n\u201cKeadaaan ini tidak boleh berterusan. Sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab bagi memperkasakan seni, budaya dan warisan berteraskan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN), saya sentiasa menyokong usaha PNM dalam usaha memastikan Pelan Pemulihan Sektor Industri Buku mencapai satu tahap yang lebih kukuh,\u201d tambahnya lagi.\nAgihan baucar buku ini telah diperluas kepada 371 buah kedai buku pada tahun ini berbanding dengan 168 buah kedai buku yang terlibat pada tahun lepas.\nBaucar buku bernilai RM10.00 setiap satu boleh ditebus oleh warganegara sahaja bermula dari 1 April hingga 31 Ogos 2022 dengan pembelian minimum sebanyak RM20.00 dan ke atas dalam satu resit transaksi." "Perkasakan UUM dalam Setiap Aspek Mengikut Acuan Sendiri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSintok \u2013 \u201cDemi memastikan Universiti Utara Malaysia (UUM) mampu bersaing di semua peringkat, UUM perlu diperkasakan dalam segenap aspek mengikut acuan sendiri berdasarkan keadaan semasa universiti. Selain itu, tahun 2022 bakal menjadi penanda aras buat UUM dalam usaha menjadi Universiti Pengurusan Terkemuka menerusi Pelan Strategik UUM,\u201d ujar Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) UUM, Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed dalam Kursus Penjawat Utama UUM Tahun 2022 di EDC UUM semalam.\nMenurut beliau lagi, pendidikan merupakan sektor kritikal yang menjadi akses kepada tadbir urus terbaik, kepimpinan berkualiti dan sumber kewangan yang kukuh serta berperanan penting dalam memacu kecemerlangan universiti. Selain itu, beliau turut mengingatkan semua warga UUM tentang matlamat utama kewujudan UUM, iaitu mendidik pemimpin berperwatakan holistik untuk berbakti kepada komuniti global.\nProfesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, kelompok pemimpin UUM menjadi tunjang kepada komuniti di pusat tanggungjawab (PTJ) masing-masing agar lebih cemerlang secara kolektif untuk memberi yang terbaik kepada universiti. Di samping itu, skop tadbir urus dan kepimpinan merangkumi aspek tatacara ketua jabatan dan para pegawai pada semua peringkat pengurusan untuk melaksanakan tanggungjawab secara telus dan berhemah dari segi pengambilan dan penyampaian hasil, budaya kerja, dasar, strategi serta tatacara berurusan dengan pelbagai pihak berkepentingan (stakeholders).\nTambah beliau, tadbir urus dan kepimpinan yang berkualiti mencerminkan sikap profesionalisme sebagai penjawat awam yang dapat meningkatkan keyakinan dan persepsi masyarakat luar terhadap kualiti sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan secara amnya dan dapat mencapai matlamat. Selain itu, seorang ketua perlu menjadi teladan dengan mempamerkan komitmen yang tinggi terhadap prinsip tadbir urus yang terbaik di samping mempunyai visi, integriti, pemikiran strategik, hubungan kerja yang produktif, saluran komunikasi yang berkesan dan berupaya untuk menghasilkan pencapaian\n\u201cKursus ini dapat membuka ruang kepada semua warga UUM untuk memahami inspirasi universiti, menjalankan amanah dan tugas dengan lebih sempurna serta dapat meningkatkan kemahiran diri dan pengetahuan melalui pengisian yang telah diatur,\u201d kongsi Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed.\nKursus ini disertai oleh 134 peserta yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti, Dekan dan Timbalan Dekan Pusat Pengajian, Pengarah dan Timbalan Pengarah Pusat Tanggungjawab serta Pengetua Inapan Siswa (INASIS).\nSepanjang kursus berlangsung, semua penjawat utama akan mengikuti dua slot ceramah, iaitu Slot 1 bersama dengan Profesor Madya Dr. Engku Ismail Engku Ali dan Dr. Mohamad Zulkurnai Ghazali dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz. Manakala Slot 2 pula bersama dengan Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Dr. Mohd Shukor Mahfar." "Dunia Mula Mengenali Hoki Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nMalaysia menutup kalendar sukan hoki tahun 2021 dengan pencapaian sebagai 10 pasukan terbaik dunia selepas menduduki tangga ke-10 dalam carta kedudukan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).\nPencapaian ini merupakan satu penghormatan besar pada arena hoki tanah air untuk kembali berada dalam kelompok 10 terbaik dunia selepas kali terakhir melakukannya pada lewat tahun 2003. Situasi itu membuktikan Malaysia akhirnya berjaya berada pada landasan tepat untuk meraih sesuatu yang membanggakan selepas beberapa siri kekecewaan sejak kebelakangan tahun yang lalu.\nAntara detik paling tidak dapat dilupakan sudah tentu perlawanan dengan Jepun pada peringkat akhir Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia yang sekali gus melenyapkan hasrat Malaysia untuk tampil layak ke peringkat Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun. Namun begitu, kekecewaan itu seakan-akan terubat apabila Malaysia berjaya menempatkan kedudukan antara 10 pasukan terbaik dunia.\nKejayaan ini sememangnya memberikan banyak manfaat dalam kejohanan antarabangsa, seterusnya secara tidak langsung memberikan nafas baharu kepada sukan hoki,\u00a0terutamanya kepada pasukan senior lelaki kebangsaan untuk cuba menamatkan penantian 22 tahun ke Sukan Olimpik menjelang edisi akan datang di Paris, Perancis pada tahun 2024. Mengimbau kejayaan sebelum ini, terakhir kali pasukan Malaysia diberi jolokan Speedy Tigers itu beraksi di pentas berprestij dunia ketika penganjuran Sukan Olimpik 2000 di Sydney, Australia.\nTahun ini dilihat amat penting kepada sukan hoki negara untuk memastikan kedudukan Malaysia tidak jatuh, sebaliknya terus meningkat kepada kedudukan yang lebih membanggakan dan merapatkan jurang dengan seteru tradisi, India yang ketika ini menghuni tempat ketiga. Jika India mampu menjadi pasukan ketiga terbaik dunia di belakang Australia dan Belgium, tidak mustahil Malaysia juga berkemampuan untuk melakukan perkara sebegitu pada masa depan.\nSelain daripada Australia, Belgium dan India, enam pasukan yang berada di atas kedudukan Malaysia ialah Belanda, Jerman, England, Argentina, New Zealand dan Sepanyol. Kini, bukan sahaja peningkatan dilihat pada kedudukan dunia skuad senior, malah pasukan remaja lelaki kebangsaan turut berjaya \u201cmenggoncang\u201d dunia dengan mencipta beberapa kejutan sepanjang saingan pada tahun lalu. Menariknya, skuad projek khas itu berjaya meraih status sebagai lapan pasukan remaja terbaik dunia berdasarkan pencapaian tempat kelapan diraih dalam saingan Piala Dunia Hoki Remaja 2021 di Bhubaneswar, India pada Disember 2021.\nBiarpun tidak berjaya menaiki podium,\u00a0tetapi kejayaan itu membuktikan sukan hoki Malaysia masih berada pada landasan yang baik walaupun dunia dilanda pandemik COVID-19 sejak tahun 2020.\nRentetan itu, barisan pemain remaja negara kendalian Wallace Tan tidak dapat melakukan persediaan seampuh mungkin dan hanya mampu menjalani satu siri jelajah di United Kingdom sebulan sebelum bermulanya Piala Dunia Hoki Remaja 2021. Meskipun begitu, kekangan itu tidak menjejaskan rentak skuad remaja apabila berjaya mencipta kejutan sensasi dengan meraih kemenangan naib juara edisi 2016 di Belgium sewaktu saingan peringkat kumpulan.\nWalau bagaimanapun, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan barisan kejurulatihan masih banyak \u201ckerja rumah\u201d yang perlu dilakukan kerana saingan Piala Dunia Hoki Remaja 2021 itu memperlihat realiti bahawa Malaysia masih beberapa langkah ke belakang berbanding dengan lawan dari benua Eropah. Hal ini dikatakan demikian Malaysia tidak berjaya melangkah ke separuh akhir selepas tumpas dengan pasukan Perancis dan kemudiannya kecundang dua perlawanan berturut-turut dengan pasukan Belanda dan Sepanyol,\u00a0sekali gus akur menamatkan kejohanan berprestij bawah 21 tahun itu pada kedudukan kelapan daripada keseluruhan 16 pasukan bertanding.\nDalam konteks ini, jika Malaysia melakukan persiapan awal seperti pasukan Eropah yang lebih awal memasuki \u201cfasa endemik\u201d, tidak mustahil keputusan berbeza mampu diraih di India pada Disember tahun lepas. Pujian harus diberikan kepada MHC kerana badan induk hoki negara itu sudah menyedari hakikat tersebut dan bersedia memberikan pendedahan secukupnya kepada skuad remaja selepas ini yang akan menggalas misi lebih besar pada penganjuran,\u00a0seterusnya Piala Dunia Hoki Remaja di Kuala Lumpur tahun depan.\nPerlawanan ini bakal menjadi kali keempat kejohanan itu dipertandingkan di Malaysia selepas tiga edisi terdahulu dilakukan di Kuala Lumpur pada tahun 1982; Ipoh, Perak (1989) dan Johor Bahru, Johor (2009). Kedudukan podium sebagai tiga pasukan terbaik menjadi sasaran MHC kepada skuad projek. Sekiranya berhasil,\u00a0hal ini sekali gus menjadi pencapaian terbaik sepanjang penglibatan Malaysia di pentas Piala Dunia Hoki Remaja sejak edisi pertama dipertandingkan di Versailles, Perancis pada tahun 1979. Dalam sejarah kejohanan lalu, pencapaian terbaik Malaysia ialah tempat keempat sebanyak tiga kali bermula tahun 1979, 1982 dan 2013 di New Delhi, India.\nBagi memastikan kejayaan podium mampu diraih, Malaysia perlu berkorban lebih pada masa dan wang ringgit untuk menghantar pasukan remaja ke Eropah dalam satu tempoh yang lama. Hal ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti pemain dengan mengadakan sebanyak yang mungkin aksi persahabatan menentang kelab atau pasukan Eropah agar pasukan negara lebih bersedia untuk memasuki perlawanan Piala Dunia Hoki Remaja 2023. Contoh terbaik,\u00a0pasukan remaja negara bertemu dalam Skuad Projek 2013 yang memilih benua Eropah untuk menguji kemampuan mereka, dan terbukti berkesan apabila mereka berjaya meraih tempat keempat.\nWalau bagaimanapun, fokus tidak hanya terarah kepada skuad remaja kerana pasukan senior, terutamanya lelaki kebangsaan juga mempunyai misi penting dengan tiga kejohanan besar pada tahun ini, iaitu Piala Asia 2022, Sukan Komanwel 2022 di Birmingham bertarikh 28 Julai hingga 8 Ogos 2022 dan Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China pada 10 hingga 25 September 2022.\nRealistiknya, saingan Piala Asia dan Sukan Asia pada tahun ini merupakan dua kejohanan yang dilihat berpotensi untuk dimenangi oleh skuad senior kebangsaan berbanding dengan Sukan Komanwel. Yang menariknya lagi, kejayaan memenangi satu daripada dua kejohanan itu bakal membolehkan Malaysia meraih status sebagai juara Asia,\u00a0sekali gus meraih tiket automatik ke pentas Piala Dunia yang dijadualkan berlangsung di India pada Januari tahun depan. Sekiranya layak, perlawanan ini akan menjadi penampilan ketiga berturut-turut Malaysia di pentas Piala Dunia selepas edisi 2014 di The Hague, Belanda dan edisi 2018 di Bhubaneswar, India.\nSecara kesimpulannya, kejayaan demi kejayaan mampu diraih mengikut kalendar sukan hoki tahun ini. Hal ini secara tidak langsung turut memperbaik kedudukan Malaysia dan tidak mustahil menyaksikan negara melonjak ke kedudukan carta yang lebih baik daripada tangga ke-10 ketika ini." "Pendidikan STEM Penuhi Keperluan Bakat Masa Depan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) merupakan pendedahan aliran yang tepat bagi pembentukan kemenjadian murid seiring dengan keperluan bakat masa hadapan.\nDalam satu kenyataan yang menjawab pertanyaan berkaitan dengan perkembangan sistem pendidikan kini di Dewan Negara, Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr.\u00a0Radzi Jidin\u00a0berkata, KPM komited dalam memastikan murid pada hari ini dilengkapi dengan kemahiran, khususnya pendidikan STEM.\nTambah beliau, usaha ini penting bagi memenuhi keperluan bakat masa hadapan meskipun berdepan dengan cabaran tempoh pandemik COVID-19.\nTerkini, KPM memperkenalkan konsep Sekolahku SEJAHTERA sebagai pemangkin pembentukan kemenjadian murid. Sekolahku Sejahtera merupakan satu konsep penerapan nilai murni dan amalan baik untuk diamalkan di semua sekolah dan institusi pendidikan tanpa mengira latar belakang lokasi ataupun jenis institusi.\nAntara elemen SEJAHTERA yang menyokong pemerkasaan STEM adalah seperti elemen seronok, etika, empati, eksplorasi dan rasional. Murid ditekankan kepada peri pentingnya untuk mengambil kira aspek etika dan empati, serta membuat keputusan yang rasional dalam penerokaan ilmu mereka.\nMengulas lebih lanjut berkaitan dengan elemen konsep baharu ini, YB Datuk Dr.\u00a0Radzi\u00a0menjelaskan bahawa penerapan elemen sebegini dapat membentuk murid untuk melahirkan rasa kecintaan terhadap penerokaan ilmu dan terus berusaha meningkatkan kefahaman serta menguasai ilmu berkenaan\u00a0demi kejayaan kelak.\nOleh hal yang demikian, beliau menegaskan bahawa usaha yang berterusan penting bagi meningkatkan kemahiran dan penguasaan murid dalam STEM melalui pelbagai pendekatan pembelajaran yang memberikan tumpuan kepada kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).\nAntara pendekatan utama yang dilaksana dalam tempoh pandemik adalah menyediakan bahan sokongan pengajaran dan pembelajaran (PdP), serta prasarana yang berkualiti bagi menyokong proses PdP STEM.\nBahan sokongan PdP ini boleh diakses oleh guru dan murid di Portal Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) dan repositori SumberKU.\nPada masa yang sama, beliau berkata KPM akan menyiarkan program [email\u00a0protected] di DidikTV KPM sewaktu pandemik. Hal ini adalah bertujuan untuk menekankan penerokaan bidang STEM melalui aktiviti yang lebih praktikal atau secara amali.\nBeliau turut memaklumkan bahawa ujian amali sains bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah dilaksanakan\u00a0sejak tahun 2021 hingga sekarang, selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013\u20132025,\u00a0iaitu Memperkukuhkan Asas Pembelajaran STEM melalui Inisiatif Pengukuhan Pendidikan STEM.\nDalam konteks kesediaan guru semasa tempoh pandemik pula, KPM telah melaksanakan beberapa program pembangunan kompetensi bidang STEM secara dalam talian, seperti Inquiry-Based Science Education\u00a0(IBSE), Inquiry-Based Mathematics Education (IBME) dan Program Sains Komputer Menggunakan Pendekatan IBSE.\n\u201cProgram pembangunan kompetensi bidang STEM diperkemaskan bagi memberi pendedahan tentang pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang lebih menarik, menyeronokkan dan bermakna melalui pendekatan berpusat kepada murid,\u201d ujar beliau dengan yakin bahawa KPM akan menggunakan segala pendekatan bagi mencapai matlamat pemerkasaan pendidikan STEM di negara ini." "\u201cGuru Tunjang Sekolah Sejahtera\u201d Tema Sambutan Hari Guru Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Terengganu \u2013 Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin mengumumkan tema sambutan Hari Guru bagi tahun 2022, iaitu \u201cGuru Tunjang Sekolah Sejahtera\u201d. Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Gerakan Massa #terimakasihcikgu bersempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-51 Tahun 2022 yang diadakan pada pukul 8.00 malam di Hotel Raia, Kuala Terengganu, Terengganu semalam.\nMenurut YB Datuk Dr. Radzi, Gerakan Massa #terimakasihcikgu telah bermula pada tahun 2018 sebagai pendekatan untuk membawa masyarakat untuk bersama-sama menginsafi segala pengorbanan yang dicurahkan oleh para guru di seluruh Malaysia.\nTambah beliau, \u201cSelain menjiwai jasa guru, kita perlu menginsafi bahawa perjalanan hidup ini penuh dengan ilmu yang perlu diterokai.\u201d\nHari Guru merupakan hari istimewa yang disambut oleh warga pendidik pada setiap tahun. Sambutan ini bagi memberikan kesempatan kepada pelbagai pihak untuk turut sama meraikan dan mengucapkan \u201cterima kasih, cikgu\u201d atas pengorbanan, kegigihan, serta khidmat bakti yang telah diberikan dalam mendidik anak bangsa.\n\u201cBagi tujuan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat menghargai dan mengalu-alukan pelbagai pihak termasuk ibu bapa, komuniti dan pihak swasta menzahirkan secara terbuka ucapan \u2018terima kasih, cikgu\u2019 kepada warga pendidik bersempena dengan Sambutan Hari Guru tahun 2022,\u201d jelas YB Datuk Dr. Radzi.\nBerdasarkan ucapan YB Datuk Dr. Radzi dalam majlis tersebut, beliau menyatakan terdapat pelbagai acara dan aktiviti dilaksanakan bersempena dengan Gerakan Massa #terimakasihcikgu Tahun 2022, antaranya ialah Pertandingan Bahas Guru KPM Piala Pusingan Yayasan Guru Malaysia (YGMB) Peringkat Kebangsaan; Perkongsian Amalan Terbaik oleh PIBKS; Perkongsian Amalan Pendidikan berkaitan DELIMa KPM/Apple/Google; Perkongsian Konsep Sekolahku Sejahtera; dan Majlis Pelancaran Gerakan Massa #terimakasihcikgu.\nYB Datuk Dr. Radzi turut berharap agar gerakan ini mampu menimbulkan rasa atau peringatan kepada warga pendidik bahawa penghormatan yang diberikan adalah berasaskan keilmuan, juga etika dan integriti yang dibawa bersama dalam perjalanan kehidupan mereka sebagai pendidik anak bangsa.\n\u201cSejak merdeka, guru berperanan sebagai tunjang yang menjadi pejuang kemerdekaan dan pembangunan negara. Oleh itu, saya mengajak semua pendidik di negara ini untuk terus mempertahankan kehormatan profesion mereka sebagai guru,\u201d tambah beliau.\nDalam pada itu, YB Datuk Dr. Radzi turut menyentuh berkenaan dengan konsep \u201cSekolahku Sejahtera\u201d yang dilancarkan oleh KPM pada 21 Februari 2022 yang lalu. Menurut beliau, \u201c\u2018Sekolahku Sejahtera\u2019 merupakan satu usaha penerapan nilai murni dalam kalangan murid menerusi penerapan 14 elemen yang amat berkait rapat dengan pembinaan kemenjadian dan keperibadian murid yang mampu berdaya saing di peringkat dunia.\u201d\nEmpat belas nilai yang terkandung dalam konsep ini adalah seperti yang berikut:\nS: Selamat, Seronok dan Sihat\nE: Etika dan Empati\nJ: Jati diri\nA: Adab sopan\nH: Harmoni\nT: Tekun, Teliti dan Terampil\nE: Eksplorasi\nR: Rasional\nA: Artikulasi\n\u201cGuru akan menerapkan elemen dalam \u2018Sekolahku Sejahtera\u2019 secara langsung atau tidak langsung sebagai peringatan tentang nilai murni kepada anak murid. Penting untuk guru dan masyarakat untuk memahami konsep nilai murni yang dilihat kian terhakis dalam amalan kehidupan masyarakat kita,\u201d jelas beliau." "Usaha Memperkasakan Modal Insan yang Cemerlang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu\u00a0\u2013 Kerajaan negeri Sabah akan terus berusaha memperkasakan modal insan di negeri ini menerusi pelbagai strategi yang telah dirancang oleh kerajaan dalam Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.\nHal tersebut dinyatakan oleh Setiausaha Tugas-tugas Khas, Pejabat Menteri Tugas-tugas Khas, Sapdin Ibrahim, dalam forum bertajuk Peranan Kerajaan Negeri Sabah dalam Memperkasakan Modal Insan di Sabah. Forum tersebut dianjurkan bersempena dengan sambutan Setahun Sabah Maju Jaya di Sabah International Convention Centre (SICC).\nMenurut beliau, antara usaha kerajaan untuk memperhebat modal insan di negara ini termasuklah pemberian tajaan biasiswa dan dermasiswa kerajaan negeri yang berjumlah RM22.4 juta kepada 4777 orang pelajar sejak tahun 2019 hingga tahun 2022.\u00a0 Selain itu, tajaan Yayasan Sabah sebanyak RM47.3 juta untuk 6388 orang pelajar (2019-2022); dan tajaan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), iaitu zakat sebanyak RM9.7 juta untuk 12496 orang pelajar.\n\u201cTajaan ini semestinya telah membantu dan akan terus membantu lebih banyak anak watan negeri ini untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara. Inilah hasrat utama kerajaan untuk melahirkan modal insan berilmu, berdaya saing dan mampu membangunkan negeri ini kelak,\u201d ucap Sapdin.\nTambahnya lagi, kerajaan Sabah turut menyediakan Program Bantuan Sosial Pendidikan, iaitu bantuan yang diselaraskan oleh Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat sebanyak RM13 juta yang merangkumi pakaian sekolah, kasut, beg, dan keperluan lain. Kerajaan juga menyediakan Ihsan Makanan Pelajar Terjejas COVID-19 (IMPAC) yang berjumlah RM1 915 717 yang melibatkan 7769 orang penerima.\n\u201cKita memahami kesukaran yang dihadapi oleh pelajar dan ibu bapa yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Maka itu, kerajaan menyediakan IMPAC untuk meringankan beban mereka dengan hasrat tiada mana-mana pelajar dalam golongan sasar yang terjejas sehingga terputus bekalan makanan,\u201d ujar Sapdin.\nPada tahun 2022, kerajaan turut menyediakan sebanyak RM8 juta untuk Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) kepada 40 ribu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dalam kategori B40. Turut disediakan ialah bantuan sekali beri sebanyak RM200 kepada mereka yang layak.\u00a0 Bantuan Ihsan Komputer 2.0 (BAIK) juga diperkenalkan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.5 juta kepada 1000 pelajar institut pengajian tinggi (miskin tegar); Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI) berjumlah RM5 juta khusus untuk 50 ribu bayi yang lahir pada tahun 2022 dan RM100 kepada penyimpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SPPN).\n\u201cMenerusi BAKTI, BAIK dan BISTARI, kita percaya bahawa pelajar yang dikategorikan dalam B40 telah menerima manfaatnya. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, juga sentiasa memastikan lebih banyak bantuan dapat diberikan kepada pelajar yang layak agar mereka tidak ketinggalan dalam pendidikan. Hal ini membuktikan bahawa pendidikan menjadi keutamaan dalam kepimpinan beliau,\u201d ucap Sapdin.\nSelain itu, dalam usaha memperkasakan modal insan, masih terdapat banyak cabarannya. Menurut Sapdin, antara yang sering menjadi persoalan termasuklah sampai bilakah bantuan dan tajaan pendidikan dapat diberikan?; peruntukan dan kos yang semakin bertambah; penambahbaikan bantuan dan tajaan, iaitu perkhidmatan pengangkutan, makanan dan komputer setiap pelajar.\n\u201cIni sebahagian cabaran yang perlu dihadapi dan harus dihadapi oleh semua pihak. Hal ini termasuklah hala tuju pendidikan, pembelajaran secara dalam talian, pendigitalan pendidikan, dan pelbagai inovasi yang dituntut dalam dunia ilmu ini,\u201d ujarnya." "Pengakap Membina Semangat Sukarelawan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar\u00a0\u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada petang ini berkenan berangkat merasmikan Majlis Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja Peringkat Negeri Perlis Tahun 2022 di Hotel Putra Regency, Kangar, Perlis.\nKetika bertitah, baginda mengatakan bahawa pendidikan yang terdapat dalam kurikulum Pergerakan Pengakap sama ada di dalam kelas mahupun di luar bilik darjah\u00a0adalah pendidikan yang menyeluruh.\nLatihan yang dijalani oleh ahli pengakap juga melampaui kotak pemikiran seseorang ahli pengakap itu sendiri.\nAtas dasar inilah akan wujud lebih ramai lagi individu yang lebih maju ke hadapan untuk membantu pergerakan sukarela seperti pengakap ini.\nBaginda menzahirkan rasa bangga terhadap Ahli-ahli Pengakap Raja berjaya memperoleh sijil yang amat bermakna ini dan berharap agar mereka akan menjadikan pengalaman dan cabaran yang ditempuh sepanjang pembelajaran bagi membantu dalam kerjaya masing-masing, malah membantu dalam kehidupan pada masa hadapan.\nBagi penerima anugerah utama Majlis Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja Peringkat Negeri Perlis Tahun 2022, adalah terdiri daripada Laksmana Maritim,\u00a0Dato\u2019 Sri Haji Ahmad Puzi Haji Ab Kahar (B) (Bintang Semangat Rimba Kelas Kedua-Perak), Hamidon Ahmad (Pingat Perkhidmatan Gemilang)\u00a0dan\u00a0Leftenan Kolonel Prof.\u00a0Ts.\u00a0Dr.\u00a0Zaliman Sauli, Dato\u2019 Seri Paduka DiRaja Adzhar Ahmad, Ho Thean Sung, Abu Bakar Abu Seman dan Muhammad Adzohmar Adzhar\u00a0(Bintang Perkhidmatan Gemilang Perlis).\nSebagai Presiden Diraja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis, Raja Muda Perlis mengucapkan tahniah kepada Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis, iaitu Majlis Pengakap Negeri dan Majlis Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perlis kerana menggunakan peluang yang ada meskipun menghadapi cabaran pandemik COVID-19, tetapi tetap berusaha menyediakan majlis ini.\nMajlis ini sangat bermakna bagi semua pihak yang telah banyak berjasa kepada pergerakan pengakap sama ada secara langsung atau tidak langsung.\nKeberangkatan tiba baginda disambut oleh Pemangku Ketua Pengakap Negara merangkap Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Mejar Jeneral Prof. Dato\u2019 Hj. Mohd Zin Bidin (B) dan Ketua Pesuruhjaya Persekutuan Pengakap Negeri Perlis, Azmi Abdullah." "Program \u201cIndahnya Bahasaku\u201c Kukuhkan Rasa Kasih terhadap Bahasa Ibunda\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013\u00a0Penerapan sikap cinta dan kasih akan bahasa Melayu perlu dipupuk sejak peringkat awal kehidupan. Hal tersebut boleh diaplikasikan melalui pelbagai bentuk program dan aktiviti yang sesuai mengikut peringkat umur, termasuklah menerusi aktiviti kebahasaan di peringkat sekolah.\nAtas dasar dan semangat tentang betapa perlunya mengembangkan bahasa ibunda merentas pelbagai kaum, maka Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum telah mengadakan program \u201cIndahnya Bahasaku Semarak Bahasa Kebangsaan 2022\u201c di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khoon Aik, Kangar, Perlis pada pagi tadi.\nProgram tersebut melibatkan hampir 800 murid daripada beberapa buah sekolah di sekitar Perlis. Antara sekolah yang terlibat termasuklah SJKT Kangar, SJKC Khay Beng, SJKC Choon Siew, SK Kuala Perlis, SMK Perlis, SMK Kuala Perlis, dan SMK Dato Ali. Program tersebut bermula dengan pengisian aktiviti pertandingan \u201cSaya Tahu\u201c dan \u201cSusun Kad Kata\u201c yang dikendalikan oleh Encik Azimin Daud dan disusuli dengan Wacana Ilmu: Bahasa Melayu Bahasa Ilmu, yang disampaikan oleh YBhg. Dato\u2019 Ts. Kamel Mohamad [Mantan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan Malaysia].\nYang menariknya dalam Wacana Ilmu: Bahasa Melayu Bahasa Ilmu, Dato\u2019 Ts. Kamel Mohamad memulakan ucapannya dengan menceritakan serba sedikit pengalamannya ketika kecil. Beliau menjelaskan bahawa semangat cinta akan negara perlu dipupuk dan disemai sejak awal peringkat kehidupan. Ketika masih kecil, beliau pernah melihat ayahnya turun dari basikal semata-mata untuk menghormati bendera kebangsaan dan perkara tersebut sedikit banyak menunjukkan betapa tebalnya sikap patriotik generasi dahulu yang seharusnya dicontohi oleh generasi muda sekarang.\nSelain itu, beliau juga menyedari bahawa sepatutnya kini setiap orang sudah mampu bertutur dalam sekurang-kurangnya tiga bahasa, dan bukan lagi masa untuk berdebat tentang penting atau tidak bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.\nKita seharusnya fasih berbahasa Melayu, mahir bahasa Inggeris dan mampu bertutur bahasa ketiga selain daripada kedua-dua bahasa tersebut.\nKefasihan dalam berbahasa Melayu harus ditunjukkan melalui percakapan, penulisan, dan dalam bidang kesenian dan kebudayaan yang lain. Beliau menyarankan agar para murid mengetahui disiplin, ilmu dan tatabahasa bahasa Melayu. Hal ini termasuklah dengan memperkaya perbendaharaan kata melalui kamus dan mempelajari hukum dan tatabahasa bahasa Melayu.\nSelanjutnya, beliau juga memberikan penekanan terhadap usaha mempelajari bahasa Melayu melalui persembahan seni dan kebudayaan seperti mendengar bacaan deklamasi puisi, menonton teater dan sebagainya. Tindakan tersebut secara tidak langsung boleh mencetuskan kreativiti dan ekspresi selain boleh menajamkan keupayaan bertutur dan menulis.\nBeliau menutup ucapannya dengan memberikan pesanan yang amat berharga kepada para murid:\nMurid-murid yang ada di hadapan saya ini harus ada semangat untuk terus belajar. Anak-anak merupakan generasi pewaris negara. Sayangilah bahasa kebangsaan kita dan kentalkan diri dengan rasa juang yang tinggi demi negara.\nProgram tersebut diakhiri dengan penyampaian hadiah bagi aktiviti pertandingan yang telah diadakan. Yang turut sama dalam program tersebut ialah YBrs. Puan Anns Tor Lay Yee (Wakil Pengarah Bahagian Kampung Baru Cina, Kementerian Perpaduan Negara), YBrs. Puan Wan Norlita Md. Noor (Wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis), YBrs. Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi (Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP) dan YBrs. Puan Kung Hong Lian (Guru Besar SJKC Khoon Aik)." "Sabah Raih Pelaburan Baharu Bernilai RM19.8 Bilion\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu\u00a0\u2013 Bersempena dengan Majlis Sambutan Setahun Hala Tuju Sabah Maju Jaya, kerajaan negeri Sabah mengumumkan sebanyak RM19.8 bilion pelaburan berjaya diraih menerusi memorandum perjanjian (MOA) dan memorandum persefahaman (MoU) yang melibatkan inisiatif pelaburan yang tertumpu kepada Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).\u00a0Berikut perjanjian yang telah dimeterai;\nSelain itu, MoU antara kementerian dengan agensi-agensi lain juga turut ditandatangani yang melibatkan;\nBerdasarkan kejayaan meraih pelaburan yang keseluruhannya bernilai RM19.8 bilion, Sabah diyakini berada pada landasan yang tepat untuk menuju Sabah maju jaya." "Baucar Buku \u201cSemarak Membaca\u201d Kembalikan Nyawa Industri Buku\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Baucar Buku \u201cSemarak Membaca\u201d yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) baru-baru ini dijangka akan mengembalikan semula nyawa industri buku negara.\nMenurut Presiden MABOPA, Arief Hakim Sani Rahmat, baucar buku ini mampu membantu kedai buku di seluruh negara menyuntik semangat membaca dalam kalangan masyarakat menerusi aktiviti pembelian buku.\nProgram anjuran MOTAC ini merupakan program susulan selepas penganjuran program tersebut mendapat sambutan yang hangat pada tahun lepas.\n\u201cAlhamdulillah, responsnya sangat bagus. Kami berjaya mencapai petunjuk prestasi utama yang ditetapkan pada masa itu. Pihak kementerian pun memandang positif terhadap program ini dalam usaha menggalakkan orang ramai membaca,\u201d jelasnya.\nTambahnya, program ini akan diteruskan dan ditingkatkan dengan pertambahan kedai buku yang terlibat, iaitu sebanyak 371 buah kedai buku berbanding dengan 167 buah kedai buku pada tahun lalu.\nKedai buku yang terpilih terdiri daripada 170 buah kedai buku fizikal di seluruh negara, 200 buah kedai buku e-dagang menerusi aplikasi Shopee dan sebuah kedai buku dalam talian menerusi E-sentral Ebook Portal.\nPenerima baucar buku juga layak didaftarkan sebagai ahli u-Pustaka, iaitu sebuah pelantar digital PNM yang menyediakan koleksi bahan bacaan dalam talian secara percuma dan dapat diakses di mana-mana juga mereka berada.\nKerajaan sebelum ini telah memperuntukkan sejumlah RM1.9 juta bagi menjayakan program Baucar Buku Semarak Membaca pada tahun ini." "Peranan Penting Anak Muda dalam Memajukan Sabah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu\u00a0\u2013 Kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, sentiasa bersikap terbuka terhadap sebarang pandangan dan penyertaan daripada generasi muda dalam usaha membangunkan negeri ini.\nPerkara itu dinyatakan oleh Datuk Seri Panglima Hajiji dalam sesi suai mesra bersama-sama Jawatankuasa Usahawan Muda Dewan Perniagaan Dewan Perniagaan Malaysia \u2013 China (MCCC \u2013 YEC), Cawangan Sabah, yang berlangsung di Sri Gaya.\n\u201cKerajaan sentiasa mengalu-alukan pandangan generasi muda kerana kita percaya bahawa pandangan mereka amat penting untuk membangunkan negeri ini,\u201d ujar Datuk Seri Panglima Hajiji.\nUmum mengetahui bahawa dasar inklusif yang dipraktiskan oleh Ketua Menteri Sabah telah membuka ruang kepada lebih banyak pihak yang terlibat dalam memberikan input sebagai satu daripada proses memakmurkan sosioekonomi rakyat di negeri ini.\nMaka itu, dalam pertemuan tersebut Datuk Seri Panglima Hajiji turut meluahkan keterbukaan beliau untuk akomodasi bakat muda yang berwawasan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah.\nRombongan yang dihadiri oleh lebih daripada 10 orang anak muda itu diketuai oleh, Ar James Wong Kein Peng yang baru dipilih sebagai Pengerusi\u00a0 MCCC \u2013 YEC bagi penggal 2022 \u2013 2024.\n\u201cKesudian Ketua Menteri bertemu dengan rombongan ini mencerminkan kemesraan beliau terhadap pandangan orang muda. Paling penting, hal ini secara tidak langsung merupakan pengiktirafan Ketua Menteri terhadap aspirasi generasi baharu,\u201d ujar Ar James Wong.\nAntara mereka yang hadir dalam sesi suai mesra tersebut termasuklah Terrance Sak Yaw san, Joanne Chin, Dr. Chang Kee Ying, Shawn Tan, Dexter Yeh, Yee Tsai Yiew, Lim Eng Ming, Samson Chu Kian Sim, dan Douglas Chong.\u00a0Sebahagian daripada mereka merupakan graduan dari luar negara yang memilih untuk pulang ke tanah air bagi mengembangkan karier masing-masing." "Khidmat Pengakap kepada Masyarakat \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap agar semua pemimpin pengakap terus menabur khidmat bakti dengan penuh semangat kepada ahli pengakap yang lain, termasuklah kepada masyarakat tanpa rasa jemu dan berputus asa.\nBaginda sangat berbesar hati kerana pengakap terus dijadikan pasukan beruniform nombor satu di sekolah-sekolah di negeri Perlis. Titah baginda:\nBermula sekarang, Pengakap Raja mestilah menambah keahliannya di semua sekolah dan tidak hanya tertumpu di sekolah-sekolah berasrama penuh sahaja.\nDalam titah baginda, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan tertinggi Persekutuan Pengakap Negara atas komitmen yang tinggi dalam melestarikan kepimpinan pengakap.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra yang merupakan Presiden Diraja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis bertitah sedemikian selepas berkenan berangkat menyertai Program Kayuhan Basikal MAIPs anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis bersama-sama Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis. Program kayuhan tersebut bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Mahmudiah, Bukit Keteri, Kangar.\n\n\nTurut menyertai program tersebut ialah Pemangku Ketua Pengakap Negara merangkap Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Mejar Jeneral Prof. Dato\u2019 Haji Mohd Zin Bidin (B) dan Ketua Pesuruhjaya Persekutuan Pengakap Negeri Perlis, Azmi Abdullah.\nPada kesempatan yang sama, DYTM Tuanku Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda, iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah, YAM Puteri Sharifah Farah Adriana dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail mengucapkan selamat berpuasa kepada semua Muslimin. Baginda berdua dan anakanda-anakada baginda turut berdoa agar ibadah puasa pada tahun ini dapat dilaksanakan dengan istiqamah serta lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini di sebalik kekangan COVID-19 yang melanda negara." "Perkongsian Pengalaman dan Kenangan oleh Tuanku Raja Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Pasukan yang diberi gelaran \u201cTeam DYMM SSPJ\u201c yang dibarisi oleh para pemain daripada Kelab Golf Putra (KGP) Perlis memperoleh 384 mata keseluruhan selepas menumpaskan pasukan \u201cEx Recce\u201d yang memperoleh 359 mata dalam pertandingan golf yang diadakan di Lapangan Golf KGP Perlis, Sungai Batu Pahat, Perlis.\nDalam pertandingan tersebut, juara keseluruhan diraih oleh Zulkifli Said daripada \u201cTeam DYMM SSPJ\u201c dengan memperoleh 47 mata. Sementara itu, dalam kategori pasukan, Mohd Nizar Mohd Shahab, memperoleh 43 mata, sekali gus mengungguli pasukan \u201cTeam DYMM SSPJ\u201c manakala Brigedier Jeneral (B) Saari Omar yang mewakili pasukan \u201cEx Recce\u201c mendapat 41 mata.\nSemasa\u00a0 berlangsungnya acara tersebut, Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat bagi menyempurnakan majlis penyampaian hadiah yang diadakan di Mess Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia, Jalan Raja Muda, Kangar. Turut berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Presiden Kelab Golf Putra Perlis dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.\n\nDalam titah ucapan baginda, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin mengalu-alukan pasukan \u201cEx Recce\u201c yang bertandang ke Perlis. Baginda berkongsi cerita dengan menjelaskan bahawa suatu ketika dahulu, sejurus selepas menamatkan latihan di Royal Military Academy Sandhurst, baginda pernah berkhidmat sebagai seorang pegawai dalam \u201cRecce Corps\u201d atau \u201cKor Peninjau Diraja\u201d dalam Angkatan Tentera Malaysia. \u201cRecce Corps\u201c kemudian diubah namanya menjadi \u201cKor Kavalri Diraja\u201d dan terkini sebagai \u201cKor Armor Diraja\u201d.\nDYMM Tuanku Raja Perlis juga kelihatan masih bersemangat tinggi dan berkongsi beberapa kenangan dan pengalaman tentang perkara yang luar biasa ketika bersama-sama dengan kor berkenaan. Baginda menjelaskan bahawa banyak yang ilmu yang dipelajari sepanjang berada dalam pasukan \u201cRecce\u201c termasuklah jalinan kerjasama antara warganya tanpa mengira agama dan bangsa, selain sentiasa memberikan sokongan dan semangat yang padu antara satu sama lain. Titah baginda, itulah elemen yang paling penting dalam memastikan kekuatan sesebuah pasukan serta amalan yang menjadi tunjang utama bagi negara yang berbilang kaum seperti Malaysia." "Raja Perlis Menerima Sembah Menghadap Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menerima sembah menghadap pengenalan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis yang baharu yang berkuat kuasa pada 30 Mac 2022 baru-baru ini, iaitu YBhg. Dato\u2019 Seri Haji Hasnol Zam Zam Ahmad di Balai Menghadap Biru Istana Arau pada petang tadi.\nBerangkat sama mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.\nYBhg. Dat0\u2032 Seri Haji Hasnol Zam Zam berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Perancangan Bandar dari Universiti Utah, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Perancangan Bandar dari Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat. Beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 30 tahun sejak menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 Disember 1992.\nYBhg. Dat0\u2032 Seri Haji Hasnol Zam Zam, 55 tahun memiliki kelayakan dan pengalaman luas dalam pelbagai bidang dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebelum ini.\nDalam majlis tersebut, Tuanku Raja Perlis turut menitah nasihat kepada YBhg. Dat0\u2032 Seri Hasnol Zam Zam agar dapat memimpin pentadbiran perkhidmatan awam di negeri tersebut dan menyempurnakan segala tugasan yang diamanahkan dengan lebih cepat serta efektif, menjauhi budaya rasuah dan berkhidmat dengan penuh semangat dan integriti." "PM Lakar Sejarah Rasmi PBAKL 2022- Menteri Kanan Pendidikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-39 kembali menemui masyarakat, khususnya pencinta buku di negara ini bermula 3 hingga 12 Jun 2022. Perasmian PBAKL 2022 disempurnakan oleh YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia buat julung kalinya selepas acara tradisi keilmuan ini terhenti seketika berikutan pandemik COVID-19 melanda dunia.\nSebelum perasmian oleh YAB Perdana Menteri, Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin terlebih dahulu menyampaikan ucapan alu-aluan dengan menyatakan bahawa beliau amat berbesar hati atas kesudian YAB Perdana Menteri menyantuni penggiat industri dan pencinta buku dalam kalangan Keluarga Malaysia di negara ini.\n\u201cPenganjuran pada kali ini melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya, PBAKL 2022 dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia,\u201d jelas YB Menteri Kanan Pendidikan. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pemain industri buku, para pencinta buku dan pengunjung yang hadir bersama-sama memberi sokongan terhadap penganjuran PBAKL 2022 dengan memeriahkan pesta buku pada kali ini setelah tidak dapat dilaksanakan secara fizikal berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara pada awal tahun 2020.\nDalam ucapan beliau, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin juga menyatakan penjualan buku turut dilaksanakan secara dalam talian bagi mengoptimumkan capaian pelawat. Bagi beliau, kemajuan teknologi digital telah banyak membantu perkembangan industri perbukuan dalam menyebarkan ilmu pengetahuan kepada masyarakat. \u201cSejajar dengan peredaran semasa, pemain industri perlulah peka dengan perkembangan teknologi digital dan menggunakan teknologi secara optimum agar industri perbukuan dapat memenuhi keperluan pencinta buku,\u201d saran beliau.\nYB Menteri Kanan Pendidikan turut menyatakan hasrat kerajaan menerusi KPM yang akan terus menyokong usaha-usaha yang dilaksanakan oleh pemain industri perbukuan bagi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Di samping itu, kerajaan juga sentiasa menggalakkan aktiviti industri perbukuan dalam usaha memperluaskan lagi akses pasaran buku di Malaysia dan pada peringkat antarabangsa.\n\u201cMarilah kita sama-sama memberikan sokongan terhadap segala usaha yang dilakukan dalam menyemarakkan semangat membaca sepanjang hayat dan jadilah generasi yang sentiasa dahagakan ilmu dan cinta akan buku,\u201d jelas Datuk Dr. Mohd Razdi Md Jidin dengan mengakhiri ucapan beliau sebelum acara perasmian diteruskan oleh YAB Perdana Menteri." "Penjelasan Isu SJKC Khai Chee, Segambut, Kuala Lumpur\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Chee, Segambut, Kuala Lumpur merupakan sebuah sekolah kerajaan di atas tapak tanah hak milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) seluas 1.7 ekar.\nBermula pada tahun 2012 hingga tahun 2014, pihak Lembaga Pengurus Sekolah (LPS) melalui Guru Besar SJKC Khai Chee telah memohon untuk mendirikan satu blok bangunan di atas tanah persendirian sebagai bangunan tambahan kepada sekolah tersebut. Memandangkan SJKC Khai Chee adalah sekolah kerajaan yang dibina di atas tanah milik PTP, cadangan pembinaan bangunan tambahan perlu mematuhi tatacara pembinaan institusi pendidikan kerajaan. Bagi membolehkan permohonan tersebut dipertimbangkan, pihak LPS hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Syarat-syarat tersebut adalah seperti yang berikut:\n(i) Pihak sekolah perlu mengemukakan bukti bahawa Chevron Malaysia Limited telah membuka/melupuskan kaveat ke atas tapak berkenaan;\n(ii) Pihak sekolah mengemukakan semula skop projek supaya mematuhi Garis Panduan dan Peraturan bagi Perancangan Pembangunan oleh Jawatankuasa Kecil Piawaian dan Kos bagi Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Negara, Jabatan Perdana Menteri; dan\n(iii) LPS mengemukakan surat jaminan untuk menyerahkan tapak dan bangunan baharu kepada kerajaan memandangkan sekolah ini adalah sekolah kerajaan.\nSehingga kini, KPM tidak pernah menerima permohonan lengkap yang memenuhi ketiga-tiga syarat yang ditetapkan daripada pihak LPS bagi membolehkan pertimbangan dibuat.\nLaporan dan tinjauan yang telah dibuat oleh Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada tahun 2014 mendapati pembinaan bangunan tambahan telah dimulakan di tapak yang dicadangkan tanpa mendapat kelulusan daripada KPM. Sehubungan dengan itu, satu surat arahan pemberhentian kerja telah dikeluarkan oleh JPWPKL pada 8 Disember 2014 memandangkan bangunan tersebut dicadangkan untuk digunakan sebagai sekolah kerajaan.\nSemakan pihak JPWPKL mendapati bahawa pihak LPS masih meneruskan kerja-kerja pembinaan bangunan tersebut. Oleh itu, pihak JPWPKL telah mengeluarkan surat kedua arahan pemberhentian kerja kepada pihak LPS pada 7 September 2015. Arahan pemberhentian ini juga tidak dihiraukan oleh pihak LPS dan kerja-kerja pembinaan diteruskan sehingga bangunan tersebut siap dibina.\nKPM menghargai usaha masyarakat yang turut menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara. Walau bagaimanapun, KPM ingin menegaskan bahawa tindakan pihak LPS yang tidak menghiraukan teguran dengan terus membina bangunan tambahan di tanah persendirian adalah tidak wajar. KPM tidak boleh didesak oleh mana-mana pihak untuk menerima apa-apa bangunan sebagai sekolah kerajaan kerana kementerian tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa.\nKPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik." "Murid Sekolah Rendah Hadir Tanpa Penggiliran Mulai 17 dan 18 April Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa murid sekolah rendah di seluruh negeri akan hadir secara bersemuka ke sekolah tanpa penggiliran bermula 17 April dan 18 April 2022, mengikut kumpulan negeri masing-masing.\nMenurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, ketetapan ini turut terpakai kepada semua murid sekolah swasta, termasuklah sekolah ekspatriat dan sekolah antarabangsa yang setara dengan sekolah rendah KPM, serta institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM.\nTambah beliau, keputusan ini dilakukan setelah melihat kelancaran pengoperasian sekolah rendah secara bersemuka pada 21 Mac yang lalu dan pengoperasian sekolah menengah secara bersemuka tanpa penggiliran pada 4 April, serta pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).\n\u201cMaka itu, kita telah membuat ketetapan bahawa murid sekolah rendah akan dibenarkan hadir ke sekolah tanpa penggiliran bermula pada 17 April untuk negeri kumpulan A dan 18 April untuk negeri kumpulan B,\u201c kata Datuk Dr. Radzi menerusi rakaman video di Facebook, semalam.\nNegeri bagi kumpulan A ialah sekolah di negeri Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu, manakala kumpulan B ialah sekolah di negeri Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.\n\u201cApa yang penting, saya menasihatkan agar murid-murid dan guru sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan.\n\u201cWalaupun kita sedang bergerak dari fasa peralihan ke endemik, namun kita masih perlu mengekalkan SOP yang ditetapkan khususnya apabila semua murid hadir ke sekolah tanpa penggiliran kelak,\u201d katanya.\nMengulas lebih lanjut berkaitan dengan ketetapan baharu ini, Datuk Dr. Radzi menegaskan agar ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak mematuhi segala SOP demi keselamatan dan kesejahteraan negara." "Sekolahku SEJAHTERA Melahirkan Generasi Muda Hebat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSebanyak 14 elemen diwujudkan dalam menerapkan nilai kehidupan secara semula jadi kepada murid semasa sesi pengajaran dan pembelajaran melalui konsep Sekolahku SEJAHTERA oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kesemua elemen itu, akan diterapkan seawal prasekolah dan akan diteruskan hingga ke peringkat sekolah menengah pada sesi persekolahan akan datang. Empat belas \u00c2\u00a0elemen SEJAHTERA tersebut ialah:\nS \u2013 Selamat, Seronok dan Sihat\nE \u2013 Etika dan Empati\nJ \u2013 Jati Diri\nA \u2013 Adab Sopan\nH \u2013 Harmoni\nT \u2013 Tekun, Teliti dan Terampil\nE \u2013 Eksplorasi\nR \u2013 Rasional\nA \u2013 Artikulasi\nSekolahku SEJAHTERA yang telah dilancarkan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, di Putrajaya pada 21 Februari 2022 lalu dirangka konsepnya dengan berteraskan prinsip dan hasrat bagi mewujudkan suasana sekolah yang selamat, aman, selesa, menggembirakan, membina dan inklusif ke arah mencapai kesejahteraan masyarakat.\n\u00a0\nMenurut Datuk Dr. Radzi Jidin, sekiranya murid-murid betul-betul menjiwai konsep ini, negara Malaysia mampu melahirkan generasi yang hebat dan mampu bersaing di peringkat dunia. Pelaksanaan konsep ini juga bagi memberikan penekanan terhadap nilai murni terhadap murid-murid menerusi pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan di sekolah. Konsep ini yang akan diperkenalkan pada sesi persekolahan akan datang tidak akan membebankan guru serta murid kerana konsep ini akan diterapkan secara semula jadi dalam pengajaran dan pembelajaran.\nSekolah secara umumnya dan guru secara khususnya memainkan peranan yang penting serta mempunyai pengaruh yang besar dalam menerapkan nilai-nilai murni terdapat murid-murid. Sama ada di sekolah rendah atau di sekolah menengah, pelajar dididik supaya berakhlak, bermoral dan mengamalkan budaya hidup yang murni.\nDi sekolah, guru memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan kehidupan pelajar. Ketika pelajar mula menjejakkan kaki ke alam persekolahan, mereka sangat bergantung kepada tunjuk ajar guru. Hal ini berdasarkan keberadaan mereka di sekolah bersama-sama guru agak lama selepas masa bersama-sama ibu bapa dan keluarga di rumah. Oleh itu, adalah sangat penting untuk mewujudkan hubungan yang rapat antara guru dengan pelajar.\nMelalui pelaksanaan Sekolahku SEJAHTERA, para murid akan dapat meneroka pelbagai cabang ilmu, idea dan penemuan baharu serta sentiasa berfikiran kreatif dan inovatif dalam penyelesaian masalah.\nDalam sistem pendidikan di Malaysia, penumpuan terhadap dasar pendidikan untuk melahirkan insan yang baik, menyeluruh dan bersepadu dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek sangat jelas berdasarkan apa-apa yang tersurat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Elemen akhlak, moral dan nilai murni merupakan satu daripada unsur yang penting dalam memastikan hasrat FPK tersebut dapat dicapai.\nSehubungan dengan itu, pembentukan insan yang berakhlak mulia amat dititikberatkan dan pentingnya penghayatan nilai murni dalam diri insan. Oleh itu, pendidikan dan penerapan nilai murni tidak boleh dipisahkan sama sekali. Tanpanya usaha untuk menghasilkan generasi muda yang hebat akhlaknya menjadi sia-sia.\nMenurut Pusat Perkembangan Kurikulum, nilai murni dapat dipupuk secara formal dan tidak formal. Selain di sekolah, ahli keluarga dan anggota masyarakat itu sendiri memainkan peranan yang penting dalam memupuk nilai murni dan membentuk sahsiah individu yang positif secara tidak formal. Namun begitu, pemupukan nilai murni akan lebih terarah jika disampaikan melalui sistem pendidikan formal yang jelas strukturnya.\nDengan wujudnya konsep Sekolahku SEJAHTERA, penekanan terhadap nilai murni akan diberikan kepada murid-murid menerusi pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan di sekolah. Konsep Sekolahku SEJAHTERA ini bukanlah satu mata pelajaran baharu atau sisipan mata pelajaran sedia ada. Namun begitu, penerapan elemen konsep ini dalam kalangan murid-murid akan dilaksanakan secara holistik bersama di dalam dan luar sekolah bagi kesejahteraan murid.\nSelain itu, konsep Sekolahku SEJAHTERA juga tidak menambahkan beban tugas guru. Dalam konteks ini, para guru akan menerapkan konsep ini secara semula jadi dalam pengajaran dan pembelajaran seperti yang telah dilaksanakan sebelum ini melalui konsep penerapan nilai murni yang merentas kurikulum demi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.\nDalam konteks ini juga, adalah diharapkan agar 14 elemen tersebut dapat memberikan garis panduan kepada murid-murid untuk membuat suatu keputusan secara rasional, sekali gus mengelak diri daripada terjebak dalam gejala buli. Menurut Datuk Dr. Radzi Jidin lagi, perbuatan buli berlaku apabila banyak dalam kalangan anak-anak yang bertindak secara tidak rasional. Masing-masing mengambil tindakan kerana merasakan diri mereka berada dalam kelompok yang besar dan boleh membuli murid lain.\nSebagai contoh, sebelum ini tular satu klip video di media sosial menunjukkan sekumpulan pelajar mengepung dan menumbuk perut mangsa sambil tertawa sesama mereka pada hujung tahun lepas. Berdasarkan ruangan komen warganet, kejadian tersebut dikatakan berlaku di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar. Kes buli tersebut ternyata menimbulkan kemarahan orang ramai yang menentang sebarang bentuk keganasan seperti buli, tambahan pula kes ini melibatkan murid sekolah.\nSehubungan dengan itu, dengan memberikan tumpuan yang lebih terhadap elemen yang disenaraikan mengikut konsep Sekolahku SEJAHTERA, diharapkan murid-murid dapat menerapkan nilai murni dalam diri mereka. Kerjasama pihak sekolah dan ibu bapa juga penting dalam usaha menjayakan konsep yang diwujudkan ini. Sebagai murid, mereka perlu dibimbing dan diberi tunjuk ajar agar matlamat yang diingini oleh KPM dapat dicapai.\nDalam sistem pendidikan di negara ini, penumpuan terhadap dasar pendidikan adalah untuk melahirkan insan yang baik, menyeluruh dan bersepadu. Sudah pasti nilai murni yang digariskan tersebut dapat membentuk sikap dan pemikiran seseorang serta membolehkannya membuat keputusan yang wajar dan bertanggungjawab ke atas akhlak dan perilakunya\nSehubungan dengan itu, semua pihak mesti berganding bahu dalam usaha untuk merealisasikan aspirasi negara dalam usaha melahirkan generasi muda hebat negara. Penekanan khusus perlu diambil terhadap 14 elemen SEJAHTERA agar konsep ini menepati kehendak dan matlamat asal kewujudan konsep yang diketengahkan oleh KPM." "Pensyarah Jepun Kongsi Ilmu Dialek Melayu dan Bahasa Serumpun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSintok \u2013 Pensyarah Tokyo University of Foreign Study, Profesor Madya Dr. Hiroki Nomoto berkongsi ilmu berkenaan dengan dialek Melayu dan bahasa serumpun melalui wacana anjuran Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) di platform Webex pada pagi tadi. Wacana yang disampaikan pada kali ini bertajuk \u201cAyat Pasif: Kelihan terhadap Dialek Melayu dan Bahasa-bahasa Serumpun\u201c merupakan program Bicara 2022 siri yang ketiga.\nMenurut Dr. Hiroki, ayat pasif merupakan satu daripada bidang kemahirannya dan mengakui bahawa perbincangan tentang ayat pasif ini sedikit sukar kepada peserta yang pertama kali mengikuti topik ini.\nTerdapat variasi antara ayat pasif di dalam dialek bahasa Melayu. Ada dialek yang mengekalkan ciri ayat pasif bahasa Melayu dahulu dan ada pula dialek yang tidak mengekalkan ciri ayat pasif bahasa Melayu dahulu.\nHal ini bermakna, sesetengah dialek bahasa Melayu sudah tidak mengekalkan ciri bahasa Melayu klasik dan dalam dialek-dialek seperti itu, lahirlah pola yang baharu untuk mengungkapkan ataupun mengganti ayat bagi bentuk yang lama.\nTambah beliau, terdapat dialek yang ayat pasifnya menunjukkan ciri-ciri yang serupa dengan bahasa serumpun.\nHal ini juga sesuatu yang menarik kerana kalau kita lihat dialek-dialek bahasa Melayu yang terdapat di Malaysia, mungkin kita akan terkejut melihat ciri-ciri yang agak berbeza daripada dialek standard. Namun begitu, apabila meluaskan pandangan ke luar Malaysia, kita masih dapat mencari bahasa-bahasa yang serupa dengan dialek-dialek yang nampaknya sangat luar biasa dari perspektif Malaysia.\nPensyarah dari negara matahari terbit ini pernah menterjemahkan cerpen karya Sasterawan Negara ketujuh, Arena Wati yang bertajuk \u201cCikgu Rukiah\u201c dan merupakan graduan Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Minnesota Amerika Syarikat.\nProgram menarik yang berdurasi selama sejam setengah ini dipengerusikan oleh Pensyarah Kanan SLCP UUM, Dr. Tarmizi Hasrah dan turut dihadiri oleh Timbalan Dekan Pendidikan dan Inovasi SLCP UUM, Profesor Madya Dr. Mohd. Hilmi Hamzah, para pensyarah, mahasiswa SLCP UUM, dan orang awam." "Ke Mana Hala Tuju Budaya Membaca?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 yang pada awalnya dijadualkan berlangsung mulai 7 Februari 2022 telah dianjak kepada 3 hingga 12 Jun ini. Bagi penerbit buku, tarikh baharu itu sedikit banyak melegakan mereka kerana tatkala negara menuju peralihan fasa endemik, diyakini lebih banyak aktiviti yang dapat dilakukan dalam menyemarakkan PBAKL 2022 kelak.\nSudah dua tahun PBAKL tidak dapat diadakan secara bersemuka. Hal ini dikatakan demikian kerana pandemik COVID-19 yang melanda negara membantutkan himpunan terbesar penerbit dan pembaca di negara ini. Maka itu, bagi ulat buku, PBAKL 2022 perlu diadakan dalam keadaan negara benar-benar telah bersedia agar rindu mereka terhadap pesta ilmu itu terubat. Oleh itu, Jun dilihat sebagai bulan yang paling tepat untuk PBAKL 2022 beraksi dan semua pihak yang terlibat dapat melakukan persiapan yang terbaik, manakala pengunjung juga perlu memastikan mereka akur dengan prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditetapkan kelak.\nUmum mengetahui bahawa antara matlamat utama penganjuran PBAKL pada setiap tahun termasuklah untuk menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat di negara ini. Mengapakah budaya membaca ini dilihat sebagai sesuatu amalan yang penting? Kita sering mendengar ungkapan, bangsa membaca bangsa berjaya. Sejauh manakah kebenarannya?\nMungkin sudah menjadi kebiasaan apabila kita menjadikan budaya pembacaan dalam kalangan orang Jepun yang tinggi hingga menjadikan mereka bangsa yang berjaya sebagai contoh yang terbaik. Dunia turut mengakui hal itu dan tentunya ada sesuatu yang boleh kita pelajari daripada cara hidup rakyat matahari terbit itu terhadap kecintaan mereka akan buku.\nSuasana yang amat berbeza sekali dapat dilihat apabila kita berada di dalam tren di negara tersebut. Rakyat di negara itu mengisi setiap saat dan detik yang mereka miliki dengan membaca \u2013 tidak kira apa-apa pun bahan bacaan dan kaedah pembacaan mereka, yang pasti mereka membaca! Ada yang memegang buku, surat khabar, telefon pintar \u2013 mereka membaca! Pemandangan ini sesuatu yang amat mengagumkan apabila tidak ada seorang pun daripada mereka yang memejamkan mata atau berbual kosong sementara meninggu tiba ke destinasi. Tanpa mengira usia, mereka membaca dengan khusyuk. Apa yang mereka peroleh? Semestinya ilmu!\nApakah pemandangan ini berlaku di dalam tren atau dalam mana-mana sistem pengangkutan awam di negara kita? Banyak penganalisis menyatakan bahawa budaya membaca yang amat menebal dalam jiwa rakyat Jepun akan dibawa walau ke mana pun mereka pergi kerana mereka meyakini ilmu dapat memajukan diri dan bangsa mereka. Budaya membaca ini juga ditambah lagi dengan proses menterjemahkan bahasa asing ke dalam bahasa Jepun. Penterjemahan ini berlaku sejak tahun 1684 dan ini juga merupakan satu daripada budaya yang hebat kerana rakyat Jepun amat bangga akan bahasa mereka sehingga banyak karya hebat di seluruh dunia yang berjaya diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun. Usaha ini menjadikan bangsa Jepun tidak pernah dan tidak mahu ketinggalan dalam segenap segi.\nBagaimanakah budaya membaca dapat diterapkan dalam segenap hidup rakyat di negara tersebut? Rahsianya adalah dengan mendidik budaya pembacaan pada awal usia. Sudah menjadi kebiasaan apabila buku dijadikan sebagai peneman \u2013 dibaca oleh ibu bapa sejak anak mereka masih peringkat bayi. Buku umpama mainan yang wajib ada pada setiap kana-kanak di negara itu. Maka itu, apabila dewasa buku tidak menjadi sesuatu yang asing bagi mereka.\nUsaha ini disemarakkan lagi oleh kebanyakan pengeluar manga di negara tersebut apabila pengeluar manga berebut-rebut mengadakan kerjasama dengan sekolah untuk menghasilkan bahan bacaan kurikulum di sekolah untuk menambah minat murid. Pelbagai usaha turut dilaksanakan untuk menjadikan subjek seperti Sejarah, Biologi, dan sebagainya dapat disampaikan dalam cara yang lebih menarik supaya lebih banyak kanak-kanak berminat terhadap bahan bacaan.\nPerlu diketahui juga bahawa tidak ada sebarang kempen membaca di negara itu untuk menjadikan membaca sebagai satu daripada budaya dalam kehidupan mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana budaya membaca sudah menebal dalam kehidupan mereka dan menjadi budaya yang akan terus diwarisi sampai bila-bila.\nSementara itu, menurut World Culture Score Index, pada tahun 2021, rakyat Malaysia meluangkan masa untuk membaca tidak lebih daripada tiga jam seminggu berbanding dengan rakyat India yang mencatatkan angka tertinggi, iaitu melebihi 10 jam dalam tempoh yang sama. Jumlah ini dikuti dengan rakyat Thailand dan China yang rata-ratanya membaca selama lapan hingga sembilan jam dalam tempoh yang sama.\nKajian profil membaca yang dijalankan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada tahun 2005 pula mendapati rakyat Malaysia hanya membaca dua naskhah buku setahun. Walau bagaimanapun angka itu meningkat kepada 15 naskhah pada tahun 2014 berdasarkan laporan kajian interim tabiat membaca rakyat Malaysia, namun jumlah tersebut masih lagi rendah berbanding dengan rakyat di negara maju yang membaca sebanyak 40 judul buku setahun. Jenis buku yang paling popular dalam kalangan pembaca Malaysia pula adalah berbentuk fiksyen (76 peratus), hobi dan minat (53 peratus), bukan fiksyen (36 peratus), perniagaan (18 peratus), ulasan saintifik dan buku teks (18 peratus) dan sains popular sebanyak 15 peratus.\nLebih awal daripada itu, iaitu pada tahun 2019, laman web Picodi melaporkan bahawa sekitar 76 peratus rakyat Malaysia membeli sekurang-kurangnya sebuah buku setahun. Angka ini sedikit rendah berbanding dengan rakyat negara Turki dan Russia. Sumber yang sama turut mendedahkan bahawa sebanyak 22 peratus rakyat Malaysia tidak banyak membaca atau tidak berminat dengan buku. Sebagai kesimpulannya, tabiat membaca rakyat Malaysia masih ketinggalan berbanding dengan negara lain.\nAntara kemungkinan mengapa tabiat membaca sukar dipupuk dalam kalangan rakyat Malaysia termasuklah ketagihan terhadap peranti elektronik yang digunakan bukan untuk tujuan mendapatkan ilmu. Sebaliknya masa lapang rakyat di negara ini sering dipenuhi dengan menonton video, melayari media sosial dan permainan maya. Membaca juga turut dilihat sebagai membebankan dan membosankan. Maka itu, bagaimana bangsa Malaysia dapat bersaing dalam era yang lebih mencabar dan penuh dengan persaingan? Bagaimana kita mahu seiring dengan Revolusi Perindustriaan 4.0 jika tahap penguasaan ilmu kita dalam bidang sains teknologi maklumat dan komunikasi masih rendah?\nDalam mencapai status sebuah negara maju, rakyat Malaysia perlu menguasai ilmu dalam pelbagai bidang dan satu daripada kaedah untuk mengusai ilmu adalah menerusi pembacaan. Maka itu, semua pihak perlu memainkan peranan dalam membudayakan pembacaan bermula dari rumah \u2013 ibu bapa perlu menjadikan tabiat membaca sebagai budaya yang utama. Kemudian, peranan ini perlu diteruskan oleh guru di sekolah \u2013 membaca tidak lagi boleh diukur sebagai senjata untuk lulus peperiksaan semata-mata, membaca perlu dijadikan sebagai tanggungjawab yang perlu disemat dalam diri setiap pelajar. Kemudian, hal ini perlu terus dimantapkan ketika pelajar melanjutkan pelajaran. Membaca harus dijadikan kunci untuk berjaya. Membaca perlu diletakkan sebagai nilai yang \u201cmahal\u201d dalam setiap perlakuan kita. Kita harus membuang perasaan malu untuk membaca di khalayak umum. Persepsi kononnya membaca sebagai tabiat yang sekadar menunjuk-nunjuk harus dihapuskan kerana membaca akan membezakan ilmu yang kita miliki berbanding dengan individu yang tidak membaca.\nKerajaan sudah menggerakkan pelbagai usaha untuk menjadikan membaca sebagai amalan dan budaya di negara ini. Ingat, di Jepun tidak ada kempen dalam menggalakkan budaya pembacaan, semuanya datang daripada kesedaran rakyat di negara itu yang percaya bahawa bangsa membaca, bangsa yang berjaya." "Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022: Tiada Syarat Lengkap Dos Imunisasi COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa tiada syarat lengkap dos imunisasi COVID-19 untuk menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 dalam kenyataan media Perdana Menteri hari ini.\nSemua kakitangan awam dan pesara layak untuk menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 seperti yang diumumkan oleh kerajaan pada 5 April yang lalu, termasuklah mereka yang tidak mendapat suntikan vaksinasi COVID-19 lengkap.\nSaya telah mengarahkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) supaya membatalkan Perkara 6 (VI) dalam pekeliling Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 bertarikh 8 April 2022.\n\u201cWalau bagaimanapun perkara-perkara lain dalam pekeliling tersebut masih terpakai.\nPerdana Menteri turut menyatakan bahawa beliau tidak pernah menyebut tentang pengecualian bantuan khas ini kepada mana-mana penjawat awam dan pesara mengikut status vaksinasi.\nSemua kakitangan kerajaan dan pesara bakal menerima bantuan khas ini pada pembayaran gaji bulan April, iaitu pada 25 April.\nKerajaan bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri Sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah dan RM250 kepada pesara." "Ujian Mendengar SPM Sesi Kedua 2021 Kekal Terjamin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia memberikan jaminan bahawa Ujian Mendengar (UM) peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 sesi kedua yang dilaksanakan pada 7 April 2022 akan kekal utuh.\nMenurut LP, bahan audio dan kertas soalan UM peperiksaan SPM sesi pertama akan digunakan bagi calon sesi kedua berdasarkan pertimbangan beberapa perkara.\n\u201cKertas soalan ini diklasifikasikan sebagai kertas tertutup dan tidak dibawa keluar oleh calon dari dewan atau bilik peperiksaan.\u201d\n\u201cSekiranya apa-apa jua maklumat berkaitan dengan UM SPM ini disampaikan oleh satu pihak kepada satu pihak yang lain, hal ini berlaku hanya dalam bentuk ringkasan wacana,\u201d jelas LP menerusi satu kenyataan hari ini berikutan rasa tidak puas hati dalam kalangan guru dan ibu bapa tentang soalan ulang UM SPM.\nMengulas lebih lanjut, LP berkata, \u201cSekiranya calon menerima maklumat daripada satu pihak yang lain berkaitan audio tersebut, calon tetap perlu mempunyai kefahaman dan tafsiran masing-masing untuk menjawab dengan tepat.\u201d\nKeputusan ini telah mengambil kira pertimbangan bahawa soalan ujian itu adalah dalam pelbagai kaedah, iaitu objektif aneka pilihan, objektif pelbagai bentuk dan juga subjektif respons terhad.\nOleh itu, calon perlu mempunyai kemahiran untuk mendengar, menganalisis dan memahami maksud keseluruhan bahan audio yang dimainkan tersebut ketika ujian ini berlangsung.\nWalau bagaimanapun, LP yakin bahawa integriti soalan peperiksaan ini akan kekal terjamin bagi memastikan kepentingan dan keadilan kepada calon yang menduduki peperiksaan." "HASiL Menyantuni Anak Yatim dan Asnaf\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) menyantuni anak yatim dan asnaf dalam program Ihya\u2019 Ramadan Majlis Berbuka Puasa LHDNM bersama-sama YB Tuan Haji Yamani Hafez Musa, Timbalan Menteri Kewangan II yang diadakan di Ibu Pejabat HASiL semalam.\nSeramai 45 orang anak yatim dan asnaf menerima sumbangan duit raya dan YB Tuan Haji Yamani Hafez Musa turut menyempurnakan penyerahan sumbangan HASiL berjumlah RM5000 kepada setiap 10 buah rumah kebajikan dan pusat jagaan yang diraikan.\nPusat jagaan dan rumah kebajikan yang terlibat, termasuklah Rumah Anak Yatim Sg. Kantan, Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim dan Miskin Rukaiyah, Rumah Bakti Al-Kausar, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim UMMI Selangor, Pusat Jagaan Mesra Assalam, Rumah Amal Limpahan Kasih, Pertubuhan Pengurusan Rumah Safiyyah, Pusat Jagaan Nur Hasanah, Pusat Jagaan dan Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah, dan Pertubuhan Kebajikan dan Bimbingan At-Taqwa.\nYB Tuan Haji Yamani Hafez Musa memuji usaha murni HASiL dalam meraikan penerima sumbangan ini, khususnya anak-anak yatim dan asnaf kerana mereka merupakan sebahagian daripada generasi yang akan mewarisi legasi negara.\n\u201cSemoga sedikit bantuan ini akan meringankan beban mereka dalam membuat persiapan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba,\u201d kata beliau dalam ucapan pada majlis tersebut.\nSementara itu, YBhg. Datuk Mohd. Nizom Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL dalam ucapannya pula berkata, \u201cDengan mengambil semangat kemuliaan bulan Ramadan, HASiL akan terus berusaha meningkatkan peranannya sebagai pentadbir cukai langsung di negara ini.\n\u201cAktiviti-aktiviti teras pentadbiran cukai seperti penaksiran, pemungutan, audit, siasatan, pengesanan, pendidikan cukai dan khidmat pelanggan tetap diberikan keutamaan sepanjang bulan Ramadan ini. Hal ini amat penting bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar dan tidak terganggu serta menjamin kemapanan kutipan hasil negara,\u201d tambah beliau lagi.\nTurut sama hadir pada majlis ini ialah Anggota-anggota Lembaga, Timbalan-timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan warga kerja HASiL." "Mahasiswa dan Risiko Kesihatan Mental\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Mahasiswa masa ini bukan sahaja bergelut dengan cabaran meniti kehidupan dalam kebiasaan baharu akibat pandemik COVID-19, tetapi juga adanya golongan yang terkesan dengan gaya hidup bercitrakan kepantasan dan hambatan dunia digital. Tidak itu sahaja, golongan ini turut dihidangkan dengan pelbagai budaya hedonisme dan kemerosotan nilai dan akhlak melalui Internet dan media sosial. Kesemua ini tanpa disedari oleh masyarakat umum memberikan impak pro dan kontra kepada golongan ini, khususnya terdedah dengan risiko kesihatan mental.\nMenyedari akan peri pentingnya pendedahan kesihatan mental kepada golongan belia, Kementerian Pengajian Tinggi menerusi Universiti Putra Malaysia (UPM) bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan Pertandingan Debat Belia Antara Kolej Kediaman Institut Pengajian Tinggi Malaysia 2022 pada 26-28 Mac 2022 secara dalam talian dan peringkat akhir pertandingan ini telah diadakan pada \u00a09 April 2022 secara bersemuka dan UPM bertindak sebagai tuan rumah mengendalikan pertandingan debat akhir ini. Pertandingan ini juga bersempena dengan sambutan ulang tahun UPM ke-50 tahun dengan mengangkat isu sohor kini berkaitan dengan kesejahteraan psikologi golongan belia, khususnya mahasiswa.\nPertandingan debat akhir ini telah menyaksikan dua pasukan berentap dan ternyata kehebatan pendebat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang diwakili pendebat Nur Insyirah Ab Rahman, Ahmad Qurtubi Awwabin Azman, Iman Irfan Othman dan Nur Suraya Zulkifli berjaya mengungguli pertandingan ini, manakala pasukan Srikandi Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI) UPM terdiri daripada Imaninah Mumtazah Abd Azazis, Nur Syazana Seruji, Siti Noralia Natasha Baharuddin dan Filda Mahashim mendapat naib juara.\nKejayaan menyandang juara oleh pasukan debat UPNM ini berjaya melayakkan mereka hadir mengadakan perkongsian melalui slot Kartini di BERNAMA Radio dengan tajuk perbincangan \u201cDebat Belia Lahir Mahasiswa Holistik\u201d, yang menampilkan Nur Insyirah dan Ahmad Qurtubi.\nMelalui perkongsian ini,\u00a0Nur Insyirah menyatakan bahawa bidang debat yang diceburinya ini sebagai arena melahirkan pelajar yang holistik dan berjiwa pemimpin, di samping melatih untuk fikir secara kritis. Mahasiswa juga dilatih berfikir dengan pantas dan tepat dalam masa 30 minit yang diberikan untuk menganalisis dan mengupas tentang usul yang diberikan dan merupakan satu daripada kaedah paling berkesan untuk melatih mahasiswa dalam berfikir, bertindak dan berhujah.\nMengikuti jadual latihan yang ditetapkan serta mengekalkan amalan membaca adalah kunci kejayaan pendebat dalam sesuatu pertandingan. Apatah lagi mahasiswa juga dituntut untuk berfikir tahap tinggi agar idea,\u00a0iaitu lontaran pemikiran yang dihujah atau didebatkan mampu menyerlahkan karisma dan kewibawaan seseorang. Debat juga ujarnya dapat melatih seseorang untuk lantang bersuara yang bermaksud seseorang akan mempunyai ilmu dan keyakinan yang tinggi dalam menyuarakan pendapat tentang sesuatu perkara. Lantang bersuara ini amat penting kepada seseorang pemimpin yang akan menggagaskan pembaharuan dalam masyarakatnya.\nMenyentuh tentang tajuk debat yang mereka hujahkan dalam pertandingan tersebut,\u00a0iaitu \u201cSejahtera IPT: Jawapan Kepada Masalah Kesihatan Mental dalam Kalangan Mahasiswa\u201d\u00a0dan UPNM adalah sebagai posisi kerajaan (pencadang usul),\u00a0manakala UPM di posisi pembangkang. Pasukan debat UPNM mengatakan bahawa pengurusan universiti kebelakangan ini hanya memfokuskan era pandemik dan cabaran universiti menanganinya dapat melihat konteks yang lebih jitu kepada permasalahan atau cabaran yang dihadapi oleh mahasiswa universiti. Dasar IPT SEJAHTERA yang diunjurkan oleh kerajaan ini satu bukti bahawa kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa benar-benar mendapat perhatian sewajarnya.\nSementara itu, Ahmad Qurtubi menegaskan bahawa kini tibalah masanya semua pihak bekerjasama bagi merealisasikan usaha universiti bagi melahirkan mahasiswa yang holistik dan cabaran kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa akan dapat diatasi. Berhubung isu ini juga, beliau\u00a0menggesa agar masyarakat tidak menuding jadi kepada\u00a0mana-mana pihak,\u00a0tetapi berusaha untuk melihat sudut positif segala penambahbaikan yang dilaksanakan atau diagendakan oleh kerajaan,\u00a0khususnya pengurusan universiti dalam mendepani isu ini.\n\u201cSekiranya semua pihak dapat saling memahami usaha bagi membebaskan mahasiswa dan golongan belia berkaitan risiko kesihatan mental akan dapat dilakukan secara sistematik,\u201d ujar beliau.\nAhmad Qurtubi turut mengucapkan rakaman penghargaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka yang memberikan bimbingan khususnya dalam penggunaan tatabahasa yang betul agar pendebat dapat menyampaikan hujah menerusi debat mereka dengan bahasa yang betul dan berkesan.\nMengakhiri perkongsian, mereka berdua berharap sekiranya didapati mahasiswa mengalami simptom atau dikenalpasti mempunyai masalah mental, hendaklah rakan sebaya atau rakan terdekat melaporkan kepada kaunselor di universiti masing-masing agar mahasiswa ini dapat dibantu. Mereka juga berharap agar mahasiswa dan belia di luar sana tidak mudah berputus asa dan sentiasa berfikiran positif dalam mereka menjalani kehidupan mereka sebagai mahasiswa. Tindakan segera oleh rakan di sekeliling akan boleh membantu pelbagai pihak menangani isu ini secara terancang. Pertandingan debat ini telah menyaksikan kejayaan terunggul pasukan debat daripada UPNM apabila Iman Irfan Othman mengungguli Anugerah Pendebat Terbaik Keseluruhan, dan Ahmad Qurtubi Awwabin pula menerima Anugerah Pendebat Terbaik Peringkat Akhir." "Debat Belia Angkat Tema Mahasiswa Belia Nadi Negara Perkasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nYB Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah memperkenalkan beberapa strategi yang perlu dilaksanakan oleh semua warga pada peringkat institusi pendidikan tinggi (IPT), seperti di universiti awam (UA), universiti swasta, politeknik dan kolej komuniti dalam Amanat Tahun Baharu 2022 diberikan\u00a0 perhatian oleh warga akademia.\nAmanat itu menjelaskan Rangka Tindakan Kesejahteraan Pendidikan Tinggi (Sejahtera IPT) wajar dijadikan misi dan visi utama dalam mendepani cabaran pandemik dengan tujuh strategi utama untuk meneruskan momentum kecemerlangan warga akademia ke peringkat seterusnya.\nTema Mahasiswa Belia Nadi Negara Perkasa yang diangkat dalam Pertandingan Debat Belia telah berlangsung sejak 26 hingga 28 Mac secara dalam talian dan acara kemuncak dilakukan secara fizikal pada 9 April 2022 dengan jayanya.\nSebanyak 14 pasukan dari institusi pengajian tinggi Malaysia telah menyertai program yang turut dijayakan dengan kerjasama pengurusan Kolej Tiga Belas (K13), Kelab Debat Bahasa Melayu UPM (KDBM Putra) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nUsul debat bertajuk \u201cSejahtera IPT: Jawapan kepada Masalah Kesihatan Mental dalam Kalangan Mahasiswa\u201d sangat bertepatan dengan isu kesihatan mental yang semakin meningkat dari tahun ke tahun, lebih-lebih lagi ketika mahasiswa berdepan dengan cabaran pendemik. Pembangunan intelektualisme mahasiswa, penekanan pada pemantapan spiritual mahasiswa perlu dititikberatkan untuk merealisasikan aspirasi pendidikan negara bagi melahirkan graduan seimbang dari segenap sudut merangkumi intelek, rohani dan jasmani.\n\u201cUPNM melahirkan pemimpin intelektual berkarakter dan kami tidak pernah berhenti berlatih dan sentiasa konsisten dalam disiplin latihan. Kesemua peserta juga amat meminati bidang debat di samping kami dapat memartabatkan Bahasa Melayu\u201d\u00a0 \u2013 Ahmad Quurtubi Awwabin Azman, Pendebat Terbaik dari UPNM.\nUPNM beraksi selaku pencadang di pihak kerajaan sementara UPM beraksi selaku pembangkang. Pasukan debat Kem Sungai Besi dari Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) telah menjuarai Pertandingan Debat Belia Antara Kolej Kediaman Institusi Pengajian Tinggi Malaysia 2022 (DELIA2022) setelah berjaya menewaskan pasukan debat tuan rumah, Srikandi Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) di Panggung Percubaan UPM.\nPasukan UPNM meraih hadiah piala dan wang tunai sebanyak RM1000 termasuk memenangi kategori Pendebat Terbaik, sementara pasukan debat UPM yang dibarisi oleh semua pelajar perempuan berpuas hati dengan meraih piala dan wang tunai RM700. Anugerah Pendebat Terbaik Keseluruhan telah disandang oleh Muhammad Danial Haikal Muhd Zamzur, manakala Anugerah Pendebat Terbaik peringkat akhir disandang oleh Ahmad Quurtubi Awwabin Azman, kedua-duanya dari UPNM.\nPasukan Kem Sungai Besi UPNM dibarisi oleh Nur Insyirah Ab Rahman, Ahmad Qurtubi Awwabin Azman, Iman Irfan Othman dan Nur Suraya Zulkifli. Tahniah juga kepada Naib Johan sebagai pihak pembangkang kepada pasukan Srikandi KTDI UPM terdiri daripada Imaninah Mumtazah Abd Azazis, Nur Syazana Seruji, Siti Noralia Natasha Baharuddin dan Filda Mahashim telah mempamerkan pendebatan yang cemerlang.\nBagi tempat ketiga terbaik yang hebat dengan hujahnya diraih oleh pasukan Mahallah Sumayyah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pasukan Lembah UPNM yang merupakan pasukan kedua UPNM. Kedua-dua pasukan mendapat hadiah RM400. Penyampaian hadiah disampaikan oleh Encik Abdullah Arshad, Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM.\nTurut hadir bersama-sama ialah Profesor Madya Ir. Dr. Ahmad Shukri Muhammad Noor, Pengetua Kolej Tiga Belas selaku Penaung merangkap wakil penganjur utama, iaitu Sekretariat Akademik dan Sahsiah, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tiga Belas, UPM sesi 2021/2022.\n\nProf. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw,\u00a0Pakar Psikologi Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan\u00a0Felow Kluster Wanita dan dan Masyarakat, Majlis Profesor Negara." "Dijangkakan Dua Juta Kenderaan Guna Lebuh Raya Menjelang Aidilfitri \u2013 PLUS\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kira-kira dua juta kenderaan bakal menggunakan lebuh raya pada waktu puncak menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, terutamanya pada penghujung bulan Ramadan.\nOrang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan pulang ke kampung dengan lebih awal supaya tidak terperangkap dalam kesesakan trafik.\n\u201cHari-hari puncak bermula 29 April hingga 9 Mei, jumlah trafik harian boleh meningkat sebanyak 25 peratus, iaitu dua juta kenderaan sehari berbanding dengan 1.6 juta sehari pada ketika ini,\u201d kata Ketua Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail dalam satu kenyataan pada pagi tadi.\n\u201cOleh itu, kami menyarankan agar orang ramai supaya membuat perancangan awal dan pulang ke kampung lebih awal,\u201d ujar beliau.\nSehubungan dengan itu, PLUS akan mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) dalam waktu terdekat untuk membantu pengguna lebuh raya merancang perjalanan pulang ke kampung dan kembali ke kota masing-masing pada musim perayaan ini.\nDatuk Azman Ismail turut menyatakan kesiapsediaan Pasukan Operasi PLUS bagi membantu orang ramai pulang ke kampung secara bersepadu dan menyeluruh, merangkumi pelbagai aspek, termasuklah adaptasi teknologi untuk meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan orang ramai.\nCuti umum Aidilfitri pada tahun ini adalah paling panjang kerana jatuh sejajar dengan cuti umum hujung minggu dan cuti umum Hari Buruh." "AirAsia Mula Operasi dengan Pembukaan Laluan Ke India\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 AirAsia mengumumkan pembukaan penerbangan semula ke Bengaluru, Kolkata, Kochi, Hyderabad, Chennai dan Tiruchirappali dengan jangkaan 71 penerbangan mingguan menjelang akhir tahun ini.\nDengan pembukaan sempadan, syarikat penerbangan itu berharap dapat mencapai kapasiti pra-COVID, iaitu lebih daripada 140 perkhidmatan pergi balik mingguan ke India.\nKetua Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat berkata, permintaan penerbangan akan ditentukan oleh cara sesebuah negara untuk menyesuaikan diri dengan keadaan COVID-19, selain daripada impak pembukaan sempadan.\n\u201cKami juga melihat kepada permintaan, tetapi bergantung kepada cara sesebuah negara menyesuaikan diri dengan keadaan semasa dan penerimaan mereka terhadap ketibaan antarabangsa.\n\u201cPada masa yang sama, saya memuji langkah kerajaan sekarang ini, iaitu perlaksanaan perjalanan tanpa kuarantin yang merupakan tarikan paling utama setakat ini,\u201d kata Riad Asmat.\nTambah, berikutan dengan pembukaan sempadan antarabangsa, beliau ingin mengambil kesempatan itu untuk mengalu-alukan pelancong antarabangsa kerana akan merangsang secara signifikan sektor pelancongan negara dan ekonomi.\n\u201cPenerbangan ke India boleh menyumbang pertumbuhan dua digit ke dalam pasaran kami dan dijangka akan menjadi penyumbang utama.\u201d\nSementara itu, beliau turut memberitahu bahawa syarikat penerbangan sedang menjalankan pelan bagi memulakan kembali laluan ke Indonesia, Filipina, Vietnam dan Thailand selepas sempadan dibuka semula.\n\u201cDari segi perancangan, semuanya telah disusun dan berharap pembukaan semula sempadan akan berlaku menjelang tahun hadapan,\u201d ujarnya dalam sidang akhbar semalam." "Kontrak Perkhidmatan Layak Terima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Individu kontrak perkhidmatan (contract for service, CFS) yang disetarakan pada gred 56 dan ke bawah yang masih berkhidmat hingga 25 April 2022 layak menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 (BKKA 2022) berjumlah RM500.\nKenyataan ini dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia dalam portal rasmi Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia semalam.\nBKKA 2022 layak diterima oleh pesara perkhidmatan awam dan veteran yang dilantik semula secara CFS dan masih berkhidmat hingga 25 April 2022.\nWalau bagaimanapun, kakitangan CFS yang ditamatkan kontrak atau meletak jawatan dalam tempoh 1 Januari 2022 hingga 25 April 2022 tidak layak menerima pembayaran BKKA 2022.\nBKKA 2022 akan dibayar pada 25 April di bawah tanggungan kementerian atau jabatan mengikut jabatan kakitangan CFS berkhidmat pada tarikh pembayaran.\nKerajaan bersetuju memberikan BKKA 2022 kepada kakitangan CFS selaras dengan pengumuman YAB Perdana Menteri pada 5 April yang lalu.\nSejumlah RM923 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan untuk bantuan khas ini dan akan memberi manfaat kepada lebih dua juta kakitangan kerajaan dan pesara." "Tiket ETS dan KTM Intercity Hampir 40 Peratus Terjual\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah menyediakan kira-kira 100 ribu tiket bagi perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) dan KTM Intercity bagi tarikh 23 April hingga 8 Mei, bersempena Hari Raya Aildilfitri tahun ini.\nMenurut Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd. Zain Mat Taha, jualan tiket itu meliputi 32 perkhidmatan ETS dan 22 perkhidmatan KTM Intercity hingga 7 April, hampir 40 peratus tiket sudah dijual bagi tempoh tersebut. Setakat ini, tiket laluan perjalanan laluan KL\u2013Sentral ke Padang Besar telah habis bagi tempoh 29 April hingga 1 Mei.\nPenamatan perintah sekatan pergerakan menjadi satu daripada penyumbang kepada trend jualan tiket dan Aidilfitri pada tahun ini dijangka akan disambut dengan kemeriahan berganda.\nSituasi ini berbeza dari tahun-tahun lalu, bukan sahaja sektor ekonomi negara telah kembali beroperasi seperti biasa, orang awam juga sudah dibenarkan untuk merentas negeri walaupun masih tertakluk kepada garis panduan dan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).\nMohd Zain berkata, \u201csekiranya jualan tiket menunjukkan trend yang memberangsangkan, KTMB akan mempertimbangkan untuk menyediakan tren tambahan untuk laluan yang mempunyai permintaan yang tinggi.\u201d\nSelain itu, pihaknya juga telah menambah dua lagi perkhidmatan tren harian bagi Shuttle Timuran bagi laluan Gemas\u2013Kuala Lipis\u2013Gemas yang menjadikannya empat perkhidmatan sehari bermula 18 April nanti. Para pelanggan juga boleh menikmati diskaun tambang perjalanan berkumpulan hingga 25 peratus melalui Pakej Keluarga Malaysia dengan menggunakan promo kod KMKTMB22.\nSehingga kini, hampir 240 ribu tiket bas yang disediakan oleh Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA) telah terjual untuk tempoh perayaan Aidilfitri yang akan disambut pada bulan hadapan.\n\nAntara laluan yang paling mendapat sambutan, termasuklah Kota Bharu, Kelantan dan Johor. Pada masa yang sama, KTMB juga turut mempromosikan aplikasi KTMB Mobile bagi memudahkan urusan orang ramai memeriksa waktu perjalanan dan mengelakkan kesesakan dengan membuat urusan pembelian tiket secara dalam talian.\nPara \u00a0pelanggan juga turut dinasihatkan supaya membeli tiket dengan segera bagi menikmati kadar tambang murah, di samping dapat membuat pilihan tempat duduk bagi yang selesa sepanjang perjalanan.\nWalau bagaimanapun, selaras dengan keadaan negara yang kini berada dalam fasa endemik, orang ramai diminta untuk terus menjaga SOP bagi mengelakkan penularan virus atau timbulnya kluster baharu." "Menyelak Kekaburan Pola Ayat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nUmum mengetahui bahawa semua ayat dalam bahasa Melayu didasari oleh empat struktur ayat inti atau ayat dasar, iaitu Frasa Nama + Frasa Nama (FN + FN), Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK), Frasa Nama + Frasa Adjektif (FN + FA), dan Frasa Nama + Frasa Sendi nama (FN + FS). Sila lihat contoh yang berikut:\n1. Dia guru. FN + FN\n2. Dia belajar. FN + FK\n3. Dia pandai. FN + FA\n4. Dia ke Kangar. FN + FS\nLazimnya, pengguna bahasa Melayu dapat mengesan struktur ayat dasar dengan pantas dan mudah. Walaupun begitu, apabila terdapat golongan kata tertentu yang dapat berfungsi sebahagiannya atau sepenuhnya seperti golongan kata yang lain, ada sahaja pengguna bahasa Melayu yang terkeliru.\nTerdapat kata kerja yang dapat diiringi oleh kata penguat, sama seperti kata adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:\n5a. Dia sangat berilmu. FN + FK\n5b. Dia sangat pandai. FN + FA\n5c. Dia mempunyai ilmu yang sangat banyak. FN + FK\n6a. Dia sangat terkejut. FN + FK\n6b. Dia sangat terharu. FN + FK\n6b. Dia sangat hairan. FN + FA\nDalam ayat 5a, kata kerja tak transitif berilmu dapat berada pada kedudukan paradigmatik yang sama seperti kata adjektif pandai (ayat 5b), tetapi maksud dan struktur ayatnya berbeza. Sebaliknya, maksud ayat 5a sama dengan ayat 5c yang didasari struktur yang lain dengan frasa kerja yang berbeza (mempunyai ilmu). Walaupun kata kerja berilmu dapat diiringi oleh kata penguat seperti sangat, sama seperti kata adjektif pandai, kata tersebut tetap memelihara fungsi asalnya sebagai kata kerja.\nDalam ayat 6a dan 6b, kata kerja terkejut dan terharu dapat berada pada kedudukan paradigmatik yang sama dengan kata adjektif hairan, dan dapat diiringi kata penguat sangat, tetapi kedua-dua kata itu tetap kata kerja.\nAda juga kata kerja transitif yang dapat diiringi kata penguat. Sila lihat contoh yang berikut:\n7a. Pemandangan di pantai itu amat mempesonakannya. FN + FK\n7b. Pemandangan di pantai itu amat mempesonakan (saya). FN + FK\n7c. Pemandangan di pantai itu amat indah. FN + FA\nDalam kelompok ayat 7, kata kerja transitif mempesonakan dapat berada pada kedudukan paradigmatik yang sama seperti kata adjektif indah. Dalam hal itu, objek kata ganti diri orang pertama seperti kata saya (dalam ayat 7b) boleh digugurkan. Selain itu, kata mempesonakan dapat juga diiringi kata penguat seperti kata amat, sama seperti kata adjektif. Walau bagaimanapun, keutuhan kata mempesonakan sebagai kata kerja transitif tetap tidak berubah. Hal ini disebabkan kata kerja itu dapat dipasifkan, sama seperti kata kerja transitif lain. Sebaliknya, kata adjektif tiada ragam aktif dan pasif. Sila lihat contoh yang berikut:\n7d. Dia amat dipesonakan oleh pemandangan di pantai itu. FN + FK\nSebilangan kata kerja dapat menerima kata penguat tetapi tidak dapat diganti secara paradigmatik oleh kata adjektif. Walaupun kita dapat membina ayat dengan maksud yang hampir sama dengan ayat dengan kata adjektif tertentu, struktur ayatnya terpaksa diubah terlebih dahulu. Sila lihat contoh yang berikut:\n8a. Dia sangat memerlukan bantuan.\n8b. Bantuan sangat diperlukan (oleh)nya.\n8c. Bantuan sangat penting kepadanya.\n9a. Dia sangat mengharapkan sokongan.\n9b. Sokongan sangat diharapkan (oleh)nya.\n9c. Sokongan sangat mustahak baginya.\nDalam kelompok ayat 8 dan 9 di atas, kata kerja memerlukan, diperlukan, mengharapkan dan diharapkan tidak dapat diganti terus dengan kata adjektif. Kita terpaksa membina ayat dengan struktur yang berbeza dan kata adjektif tertentu untuk mendukung makna yang hampir sama (ayat 8c dan 9c).\nAda juga kata kerja yang berfungsi sebagai kata pemeri. Sila lihat contoh yang berikut:\n10a. Dia merupakan dirinya sebagai orang miskin. FN + FK\n10b. Dirinya dirupakannya sebagai orang miskin. FN + FK\n11a. Dia merupakan guru. FN + FN\n11b. Dia ialah guru. FN + FN\n11c. Dia guru. FN + FN\n11d. *Guru dirupakannya. Struktur yang salah\nDalam ayat 10a, kata kerja merupakan ialah kata kerja aktif transitif. Oleh itu, kata kerja itu dapat dipasifkan sebagai kata dirupakan (ayat 10b). Walaupun begitu, dalam ayat11a, kata kerja merupakan bukan sahaja berfungsi seperti kata pemeri ialah, malahan kehilangan fungsinya sebagai kata kerja transitif (ayat 8d). Hal ini dikatakan demikian kerana kata merupakan dalam ayat 11a bersifat opsyenal dan boleh digugurkan, sama seperti kata pemeri ialah, tanpa menjejaskan struktur dan makna ayat (ayat 11c).\nAda juga kata kerja yang dapat berfungsi sebagai kata sendi nama. Sila lihat contoh yang berikut:\n12a. Dia melalui jalan itu. FN + FK\n12b. Jalan itu dilaluinya. FN + FK\n13a. Perhubungan mereka melalui Internet. FN + FS\n13b. Perhubungan mereka dengan Internet. FN + FS\n13c. *Internet dilalui perhubungan mereka. Struktur yang salah\nDalam kelompok ayat 12a, kata melalui merupakan kata kerja transitif yang dapat dipasifkan (ayat 12b). Walaupun demikian, dalam ayat 13a, kata melalui bukan sahaja berfungsi seperti kata sendi nama dengan (ayat 13b), malahan kehilangan fungsinya sebagai kata kerja transitif (ayat 13c).\nSelain kata kerja melalui, kata kerja menerusi dan mengenai juga dapat berfungsi sebagai kata sendi nama. Sila lihat contoh yang berikut:\n14a. Jarum menerusi kain itu. FN + FK\n14b. Kain diterusi jarum. FN + FK\n15a. Perhubungan mereka menerusi surat. FN + FS\n15b. Perhubungan mereka dengan surat. FN + FS\n15c. *Surat diterusi perhubungan mereka. Struktur yang salah\n16a. Tembakannya mengenai sasaran. FN + FK\n16b. Sasaran dikenai tembakannya. FN + FK\n17a. Syarahannya mengenai kasih sayang. FN + FS\n17b. Syarahannya tentang kasih sayang. FN + FS\n17c. *Kasih sayang dikenai syarahannya. Struktur yang salah\nDalam ayat 14a, kata menerusi ialah kata kerja transitif yang dapat dipasifkan (ayat 14b), tetapi dalam ayat 15a, kata menerusi bukan sahaja berfungsi seperti kata sendi nama dengan (15b), malahan kehilangan fungsinya sebagai kata kerja transitif (ayat 15c).\nDalam ayat 16a, kata mengenai ialah kata kerja transitif yang dapat dipasifkan (ayat 16b), tetapi dalam kelompok ayat 17a, kata menerusi bukan sahaja berfungsi seperti kata sendi nama tentang (ayat 17b), malahan kehilangan fungsinya sebagai kata kerja transitif (ayat 17c).\nSelain kata kerja, ada kata adjektif yang dapat berfungsi sebagai kata adverba. Sila lihat contoh yang berikut:\n18a. Bangunan itu tinggi. FN + FA\n18b. Burung itu terbang tinggi. FN + FK\n18c. Burung itu terbang. FN + FK\n19a. Dia lambat. FN + FA\n19b. Dia lambat datang. FN + FK\n19c. Dia datang lambat. FN + FK\n19d. Dia datang dengan lambat(nya) FN + FK\n19e. Dia datang. FN + FK\nDalam ayat 18a, kata tinggi ialah kata adjektif yang menghuraikan frasa nama bangunan itu. Dalam ayat 18b pula, kata tinggi berfungsi sebagai kata adverba yang menerangkan kata kerja terbang. Hal ini terbukti kerana kata tinggi boleh dihilangkan tanpa menjejaskan struktur ayat walaupun makna ayat menjadi lebih umum (18c).\nDalam ayat 19a, kata lambat ialah kata adjektif yang menghuraikan frasa nama dia. Dalam ayat 19b pula, kata lambat berfungsi sebagai kata adverba yang menerangkan kata kerja datang. Hal ini terbukti kerana kata lambat boleh dialihkan kedudukannya dalam ayat (ayat 19c dan ayat 19d), dan boleh dihilangkan tanpa menjejaskan struktur ayat, walaupun makna ayat menjadi lebih umum (19e).\nTuntasnya, kata yang berfungsi sebagai golongan kata lain tetapi masih mengekalkan sifat dan fungsi asalnya dikategorikan mengikut golongan kata asalnya. Sebaliknya, kata yang berfungsi sebagai golongan kata lain dengan mengalami kehilangan sifat dan fungsi asalnya dikategorikan mengikut golongan kata yang lain." "KTMB Sedia Tren Khas ke Pantai Timur Sempena Aidilfitri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan perkhidmatan tren khas yang dikenali sebagai Ekspres Khas Keluarga Malaysia pada 29 April ini.\nInisiatif ini merupakan kerjasama antara Kementerian Pengangkutan dengan KTMB yang membawa slogan \u201cMaghi Kelik Kampung\u201d sebagai satu daripada pengangkutan alternatif untuk pulang ke kampung dengan selamat, selesa serta dapat menikmati harga tambang yang berpatutan.\nMenteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, secara umumnya setiap kali musim perayaan, terutamanya Aidilfitri, kesesakan jalan raya bakal dihadapi oleh warga Pantai Timur.\n\u201cPada tahun ini, kita menjangkakan pertambahan trafik yang drastik kerana sudah dua tahun tidak dapat pulang beraya disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP)\u201d.\n\u201cOleh itu, dengan adanya perkhidmatan ini, kadar kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan, sekali gus memberikan jaminan keselesaan serta keselamatan kepada Keluarga Malaysia.\u201d\nTren ekspres khas ini akan beroperasi bagi laluan Pantai Timur yang bermula dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat, dengan tawaran terhad kepada 516 tiket sahaja.\nMenurut Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd. Rani Hisham, tren khas ini merupakan perkhidmatan istimewa yang disediakan oleh KTMB untuk Keluarga Malaysia yang ingin pulang ke kampung dengan keselesaan dan menjimatkan masa.\n\u201cTren khas ini bakal dilengkapi dengan koc katil, kos tempat duduk premier dan superior, kos bufet dan koc chillax untuk aktiviti solat atau moreh beramai-ramai.\u201d\nTiket akan mula dijual pada 15 April dengan harga bermula daripada RM55 hingga RM83 bagi perjalanan sehala. Cenderamata khas juga akan diberikan kepada penumpang yang membuat perjalanan dengan tren khas ini.\nMengulas lebih lanjut berkaitan dengan jadual pergerakan, tren ini akan berlepas pada 29 April, pukul 11.00 malam dari Stesen KL Sentral dan akan berhenti di 17 stesen seperti, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Nilai, Seremban, Pulau Sebang, Mentakab, Jerantut, Gua Musang, Pasir Mas dan Tumpat." "Pemberian Vaksin Dos Pertama PICKids hingga 15 Mei \u2013 KKM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Pada 3 Februari yang lalu, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setelah majoriti rakyat telah menerima vaksin bagi dos pertama, kedua dan dos penggalak. Program ini adalah bertujuan untuk mengurangkan jangkitan virus COVID-19 dan merendahkan komplikasi jangkitan dalam kalangan kanak-kanak.\nBerdasarkan kajian, sebanyak 38.6 peratus kanak-kanak telah menerima vaksin bagi dos pertama, yakni lebih daripada satu juta orang kanak-kanak, manakala bagi penerima dua dos hampir 200 ribu orang.\u00a0Purata pemberian vaksin bagi dos pertama adalah sekitar 4500 dos sehari setakat tujuh hari lalu.\nNamun begitu, permintaan vaksinasi ibu bapa atau penjaga terhadap kanak-kanak menunjukkan penurunan yang menyebabkan KKM terpaksa menjalankan kajian semula tempoh pelaksanaan PICKids.\nOleh sebab berlakunya trend penyusutan tersebut, pembaziran vaksin kanak-kanak yang tidak digunakan dalam tempoh enam bulan selepas dikeluarkan oleh pengilang akan terus meningkat.\nDalam usaha menangani perkara ini, KKM memutuskan untuk menetapkan tarikh akhir dos pertama. Hasil daripada Mesyuarat COVID-19 Immunisation Task Force (CITF-C) yang telah diadakan, tarikh akhir pemberian dos pertama vaksin COVID-19 di bawah PICKids adalah pada 15 Mei 2022.\nBermula tarikh 16 Mei 2022, KKM tidak lagi menawarkan dos pertama vaksin COVID-19 jenis Cormirnaty dan CoronaVac kepada kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun.\nIbu bapa bagi kanak-kanak terbabit perlu membuat keputusan mengenai vaskinasi COVID-19 dengan segera kerana bermula 16 Mei 2022, vaksin jenis Corminaty tidak lagi ditawarkan di fasilit kesihatan awam dan swasta di Malaysia dan vaksin CoronaVac hanya boleh diperolehi dengan bayaran di fasiliti swasta.\nNamun demikian, keputusan ini tidak melibatkan kanak-kanak yang lahir pada tahun 2017 dan belum mencapai usia 5 tahun pada 15 Mei 2022. Perincian mengenai vaksinasi kumpulan ini akan diumumkan dalam masa terdekat.\nTambahan lagi, mesyuarat tersebut juga bersetuju untuk membuat pindaan pada Borang Persetujuan Suntikan Vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak bawah usia 18 tahun. Pindaan yang melibatkan pengguguran klausa dua bertujuan mengelakkan kekeliruan dan salah faham terhadap perkhidmatan KKM.\nDalam menuju ke arah tarikh akhir pemberian dos pertama, jabatan kesihatan negeri telah memulakan operasi lapangan di mana kanak-kanak yang telah didaftarkan dalam MySejahtera, tetapi belum mendapat suntikan akan dihubungi oleh petugas kesihatan dan diberikan tarikh temu janji sebelum 15 Mei 2022." "i-Biaya Sasar Golongan Muda Miliki Rumah Pertama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSubang Jaya \u2013 Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) yang dilancarkan di Sunway Resort Hotel, Bandar Sunway semalam menyasarkan lebih ramai golongan muda daripada golongan B40 dan M40 untuk memiliki rumah pertama melalui Skim Rumah Pertamaku (SRP).\nMenteri Kewangan, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam ucapannya berkata,\nSRP ini menawarkan kemudahan pembiayaan kepada rumah pertama, terutamanya kepada golongan muda. Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan bahawa sejak SRP dilancarkan hingga Februari tahun ini, hampir 67 ribu isi rumah telah berjaya memiliki rumah idaman pertama mereka.\nSRP telah membantu mereka dengan nilai RM14.8 bilion, iaitu lebih daripada 90 peratus terdiri daripada B40, manakala daripada segi umur, 92 peratus ialah golongan yang berumur 35 tahun dan ke bawah.\nSRP merupakan satu daripada tiga skim pembiayaan yang ditawarkan di bawah program i-Biaya. Dua skim lain termasuklah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SKJP) dan Skim Rent-to-Own.\nProgram i-Biaya ialah satu inisiatif di bawah Home Ownership Programme (HOPE) yang diusahakan oleh Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan disokong oleh Kementerian Kewangan Malaysia untuk meningkatkan pemilikan rumah dalam Keluarga Malaysia.\nMenteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Dato\u2019 Sri Reezal Merican Naina Merican bersama-sama YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul telah merasmikan Majlis Pelancaran i-Biaya.\nTurut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri KPKT, YB Dato\u2019 Seri Dr. Ismail Mutallib, Timbalan Menteri Kewangan I, YB Dato\u2019 Indera Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan II, YB Tuan Haji Yamani Hafez Musa, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, YBhg. Datuk Seri Asri Hamidin @ Hamidon, Ketua Setiausaha KPKT, YBhg. Datuk Noor Azman Taib, pegawai-pegawai kanan kementerian, jabatan dan agensi." "Tarikh Akhir Pengeposan Barang, POS Malaysia Cuti Raya Aidilfitri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nPutrajaya \u2013 Pos Malaysia telah mengeluarkan kenyataan berkenaan tarikh akhir pengeposan barangan Pos Laju, surat dan kad ucapan Hari Raya bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.\nKenyataan tersebut dikeluarkan oleh cicipan Pos Malaysia Berhad yang memaklumkan bahawa semua cawangan Pos Malaysia akan bercuti pada 3 hingga 4 Mei 2022.\nEkoran itu, Pos Malaysia mengesyorkan para peniaga dan pelanggan untuk merancang aktiviti pengeposan barangan dengan teratur bagi memastikan barangan tersebut sampai sebelum perayaan Aidilfitri. Hal ini bagi mengelakkan kekeliruan dalam tempoh menunggu para pelanggan serta keselamatan item yang diposkan.\nTerdapat dua tarikh akhir yang disyorkan kepada para pelanggan, iaitu 25 April bagi destinasi Semenanjung Malaysia ke Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak), Malaysia Timur ke Semenanjung Malaysia dan dalam Malaysia Timur. Bagi destinasi dalam Semenanjung Malaysia, tarikh yang disyorkan adalah pada 27 April.\nPihak Pos Malaysia Berhad juga mengingatkan bahawa barangan yang dihantar selepas tarikh tersebut akan mula dipos selepas cuti Aidilfitri, iaitu pada 5 Mei 2022.\nPengumuman tersebut dibuat bagi menunjukkan penghargaan kepada barisan hadapan Pos Wira Pos Malaysia Berhad yang terdiri daripada \u2018Abang Posmen\u2019 dan kakitangan cawangan di Pejabat Pos, serta Cawangan Pos Laju.\nPenghargaan ini dilihat sebagai satu berita gembira bagi kakitangan Pos Malaysia Berhad yang sentiasa menyediakan perkhidmatan terbaik selama tujuh hari seminggu bagi memastikan barangan yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka tiba di destinasi dengan selamat dan menepati tempoh masa yang dijanjikan.\nSemoga Aidilfiri ini menjadi perayaan yang sangat bermakna bagi keluarga Pos Malaysia Berhad dan Keluarga Malaysia." "Semarakkan Semangat Ukhuwah Semasa Ramadan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIslam merupakan agama kedua terbesar di dunia dengan peratusan 21.01 peratus, manakala agama terbesar, iaitu agama Kristian pula mencakupi 33.32 peratus, diikuti agama lain seperti Hindu (13.26 peratus) dan Buddha (5.84 peratus).\nMenurut sebuah laman web, www.worldpopulationreview.com, dianggarkan populasi penganut Islam di dunia pada tahun 2020 ialah 1.91 bilion dan mendiami hampir semua negara, khasnya Indonesia, Pakistan, India, Bangladesh, Nigeria, Iran, Turki, Algeria, Maghribi dan Mesir.\nMenurut Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah penduduk Malaysia pada tahun 2020 adalah sebanyak 32.73 juta. Daripada jumlah ini, kaum bumiputera merangkumi\u00a0 65.1 peratus,\u00a0 Cina (26 peratus), India (7.7 peratus) dan selebihnya diwakili oleh kaum lain. Jika dilihat dari segi anutan, komposisi rakyat yang beragama Islam adalah sebanyak 60.4 peratus, penganut Buddha (19.2 peratus), penganut Kristian (9.1 peratus), penganut Hindu (6.3 peratus) dan penganut Konfucius atau Taoisme, serta fahaman tradisi Cina pula ialah 2.6 peratus. Maka itu, dapat dinyatakan bahawa majoriti penduduk Malaysia yang berpegang pada ajaran Islam hampir mencecah 17 juta orang.\nSebagai pegangan agama yang utama di negara ini, Islam sudah lama bertapak seawal kerajaan Melayu awal. Islam diterima baik oleh rakyat pada ketika itu sehingga sebati dengan kehidupan masyarakat Melayu. Di bawah Perlembagaan Persekutuan (Malaysia), Islam diangkat sebagai agama persekutuan di bawah Perkara 3 (1).\nMemandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada penduduk berbilang kaum, etnik, agama, budaya dan kepercayaan, wujud satu peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan bahawa agama dan kepercayaan lain boleh diamalkan secara aman dan damai.\nPada masa itu, ketika umat Islam di Malaysia menyambut bulan Ramadan al-Mubarak 1443 Hijrah dengan menunaikan ibadah berpuasa, masyarakat bukan Islam turut meraikan rakan taulan mereka yang beragama Islam menyambut bulan puasa. Bagi umat Islam, Ramadan dianggap sebagai bulan yang mulia kerana al-Quran diturunkan sebagai petunjuk kepada manusia agar melakukan amalan yang baik dan menghindari perbuatan yang boleh menjauhkan mereka daripada Yang Maha Esa.\nIbadah puasa ialah satu kewajipan yang merupakan satu daripada Rukun Islam. Umat Islam amat menantikannya kerana mereka percaya bahawa pada bulan ini, segala pintu taubat akan dibuka dan sekiranya mereka menjalankan banyak ibadah seperti yang dituntut oleh Islam, nescaya mereka akan dicurahkan dengan pahala yang berlipat ganda. Bahkan, pintu syurga dibuka dan segala amalan ibadah yang dilakukan akan dicatatkan.\nHidup dalam masyarakat majmuk, kita perlu mengetahui bahawa amalan berpuasa juga terdapat dalam kalangan masyarakat bukan Islam. Sebagai contoh, masyarakat Hindu berpuasa (antara tiga hingga 30 hari) bagi tujuan sembahyang bagi sesuatu perayaan agama Hindu. Bukan itu sahaja, orang India dan Cina yang beragama Hindu, Tao dan Buddha juga mengamalkan pemakanan sayur-sayuran bagi menyambut hari keagamaan seperti Hari Thaipusam dan Hari Menyembah Guanyin.\nRakyat Malaysia, tidak kira kaum Melayu atau bukan Melayu, kita perlu sedar terhadap peri pentingnya kefahaman terhadap kepelbagaian agama dan kepercayaan dengan nilai yang bersifat universal. Antara nilai Islam yang bersifat universal atau sejagat adalah seperti tiada paksaan dalam agama (Surah al-Baqarah), berbuat baik dan adil kepada umat Iain (Surah al-Mumtahanah), jangan menghina sembahan yang lain selain Allah SWT (Surah al-An\u2019am), yang paling akrab dengan mukminin, iaitu orang Nasrani (Surah al-Ma\u2019idah), serta kepelbagaian bangsa dan kelompok untuk taaruf atau saling kenal mengenali (Surah al-Hujurat).\nSehubungan dengan itu, setiap usaha perlu dipertingkatkan untuk saling memahami, menghayati, serta menerima perbezaan agama dan kepercayaan yang wujud di Malaysia. Malah, rakyat Malaysia perlu menumpukan kepada titik pertemuan nilai murni dalam pelbagai agama serta meraikan perbezaan itu sebagai asas kekuatan negara.\nAmalan budaya hormat-menghormati antara agama lain ialah asas dan teras untuk memelihara kesejahteraan, keharmonian dan perpaduan antara rakyat berbilang kaum di Malaysia. Sementara itu, umat Islam berpuasa dan menunaikan ibadah Qiyam Ramadan serta memperbanyak perbuatan kebajikan. Masyarakat bukan Islam pula harus menghayati bulan Ramadan sebagai bulan yang mulia untuk merapatkan hubungan mesra sesama mereka dalam menyemarakkan lagi tautan Keluarga Malaysia.\nMalah masyarakat bukan Islam harus digalakkan untuk menyertai iftar Ramadan (berbuka puasa) bersama-sama umat Islam bagi mengeratkan semangat silaturahim dalam kalangan rakyat di Malaysia yang dapat merealisasikan aspirasi Keluarga Malaysia. Rakyat di negara Barat yang tenggelam dalam Islamophobia pada suatu ketika dahulu kini kelihatan menganjurkan program iftar secara besar-besaran bersama-sama warga Islam untuk meraikan bulan Ramadan.\nRakyat Malaysia haruslah menerapkan nilai murni supaya dapat melahirkan keharmonian dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama. Marilah bersama-sama berdoa agar kita diberkati dengan nikmat rezeki Ramadan." "Raja Muda Perlis Sokong Program Membaca\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru kepada semua rakyat di negeri Perlis untuk bersama-sama menyokong program Jom Baca Bersama untuk 10 Minit yang bakal dilaksanakan secara serentak di seluruh Malaysia pada 21 April 2022, pukul 11.00 hingga 11.10 pagi walau di mana-mana sahaja berada dan dalam apa-apa jua keadaan.\nBaginda bertitah, \u201cMungkin dengan 10 minit bacaan ini akan memberikan peluang pekerjaan kepada kita, rezeki dan sebagainya. Ayuh, kita buktikan rakyat negeri Perlis, rakyat yang membaca!\u201d\nDemikian titah baginda semasa berkenan menyempurnakan pelancaran kempen dan promosi program berkenaan, yang dianjurkan oleh pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis secara santai di Tapak Bazar Ramadan Guring, Pauh, Arau pada petang semalam.\nKeberangkatan Tuanku Raja Muda disambut oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (AMMK) Negeri merangkap YB DUN Pauh, Puan Roziena Ahmad dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri, Encik Azizi Janan.\nMenurut Azizi, \u201cStatistik Jom Baca Bersama untuk 10 Minit di negeri Perlis meningkat saban tahun bermula dengan hanya 8153 penyertaan pada tahun pertama penyertaan dan meningkat kepada 55 506 penyertaan pada tahun 2019.\n\u201cNamun begitu, berlaku penurunan pada tahun 2020, tetapi kembali meningkat kepada 33 367 penyertaan pada tahun 2021. Penurunan ini adalah disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu dan program dijalankan secara maya. Diharapkan statistik ini akan kembali meningkat tahun ini dengan kerjasama dan komitmen daripada semua pihak,\u201d tambah beliau lagi.\nUntuk rekod, Jom Baca Bersama untuk 10 Minit bermula sejak tahun 2014 merupakan program sokongan dari Perpustakaan Awam Negeri Perlis bagi meningkatkan tabiat atau budaya membaca dalam kalangan masyarakat." "MSOSH Seru Pengamal Media Teroka Karya Pelaporan KKP di Rantau Asia Pasifik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSubang Jaya \u2013 Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) yang ditubuhkan sejak tahun 1971 sentiasa berusaha untuk mengambil langkah proaktif bagi mempertingkatkan kesedaran masyarakat tentang aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di tempat kerja dalam semua industri di Malaysia.\nMenyedari perkembangan teknologi era digital pada hari ini, Dr. Shawaludin Husin, Pengerusi MSOSH, mengalu-alukan pelibatan pengamal media untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat dengan menghasilkan karya pelaporan berkaitan dengan aspek KKP dengan tepat dan berkesan.\n\u201cSecara jelas, karya tersebut sebenarnya telah berjaya membantu memperkasakan pemahaman bidang KKP kepada masyarakat di dalam negara ini. Karya berkisar tentang KKP ini mesti terus disebarluaskan melalui media massa, media elektronik mahupun media sosial,\u201d ujar beliau dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Anugerah Media MSOSH bagi tahun 2022, pada petang ini.\nAnugerah Media MSOSH yang telah diperkenalkan sejak tahun 2019 ini bertujuan untuk meraikan karya kewartawanan yang berkaitan dengan aspek KKP dan dihasilkan oleh para pengamal media atau karyawan tempatan. Penganjuran anugerah ini merupakan sebuah kerjasama antara MSOSH dengan Malaysian Press Institute (MPI).\nSelain itu, beliau turut menjelaskan perkembangan positif bidang KKP dalam negara yang akan membawa bidang tersebut ke peringkat antarabangsa dalam masa terdekat. Hal ini dikatakan demikian kerana rang undang-undang Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (pindaan) 2022 telah diluluskan di parlimen pada awal tahun ini.\nPindaan ini bertujuan bagi memantapkan perundangan KKP di Malaysia. Pada masa yang sama, Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSHMP25) telah dilancarkan bagi menggariskan hala tuju yang jelas kepada aktiviti pembangunan KKP di negara ini.\nDalam pada itu, pengerusi menyatakan kesiapsediaan MSOSH untuk sekali lagi menjadi penganjur bagi Persidangan Asia-Pacific Occupational Safety and Health Organization (APOSHO) pada tahun hadapan. Malaysia pernah menjadi penganjur persidangan ini sebanyak dua kali, iaitu pada tahun 1994 dan tahun 2003.\n\u201cTugas menjadi tuan rumah bagi Persidangan APOSHO ke-37 ketika kita menghadapi ketidaktentuan krisis COVID-19 sudah pasti akan memberikan cabaran. Oleh itu, MSOSH beriltizam akan memberikan komitmen penuh dalam memastikan penganjuran persidangan ini berjaya dilaksanakan dengan sempurna,\u201d tambah beliau.\nPersidangan tahunan pertama APOSHO dianjurkan pada Ogos 1985 di Singapura. Pada peringkat awal, organisasi ini dikenali sebagai Majlis Keselamatan Negara Asia Pasifik atau Asia-Pacific National Safety Councils. Nama tersebut diubah kepada APOSHO pada persidangan tahunan kali kelapan\u00a0pada tahun 1992. Hingga tahun 2020, APOSHO mencatatkan keanggotaan sebanyak 39 badan dari 21 buah negara; dengan dua atau lebih organisasi hadir dari Australia, China, Indonesia, Korea, Malaysia, Mauritius, Thailand dan Vietnam.\nDr. Shawaludin mengakhiri ucapan beliau dengan menggalakkan para pengamal media agar meneroka pelaporan isu KKP di rantau Asia Pasifik seiring dengan penganjuran Persidangan APOSHO pada tahun hadapan. Perkara ini boleh dilaksanakan\u00a0dengan melihat amalan dan garis panduan KKP yang diimplementasikan di luar negara khususnya di negara maju seperti Singapura, Australia, China, Korea dan Jepun.\nBeliau juga berharap agar pengamal media di negara ini dapat menyahut cabaran untuk mengetengahkan pelaporan berita atau penulisan rencana yang bersifat lebih komprehensif dan kritis dalam usaha menyokong perkembangan agenda KKP di Malaysia." "Pelaporan Media Bantu Capai Sifar Kemalangan di Tempat Kerja\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSubang Jaya \u2013\u00a0Dalam menjayakan usaha \u201csifar kemalangan\u201d di tempat kerja, Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) dan Malaysian Press Institute (MPI) telah bekerjasama bagi mengembangkan agenda amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) melalui pelaporan media.\nMenurut Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya, pengamal media merupakan medium perantaraan yang sangat penting dalam menyebarkan sesuatu maklumat yang baik dan bermanfaat kepada masyarakat umum, tanpa mengira pengkomersialan organisasi media semata-mata.\n\u201cDi sinilah peranan penting sebagai penyebar maklumat kepada khalayak. Tanpa mengira bekerja dengan surat khabar, portal berita, radio atau televisyen, kita mempunyai peranan untuk memberikan pencerahan kepada masyarakat mengenai pentingnya keselamatan dan kesihatan pekerjaan,\u201d ujar beliau dalam ucapan perasmian pelancaran Anugerah Media MSOSH 2022 di Hotel Dorsett Subang Jaya petang tadi.\nKerjasama MPI MSOSH sejak Ogos 2018 lalu dalam memberikan pengiktirafan kepada para pengamal media jelas menunjukkan komitmen dan inisiatif membudayakan serta memupuk kesedaran orang awam mengenai KKP.\nPada majlis tersebut, terdapat tiga kategori anugerah diperkenalkan, iaitu karya yang meliputi media cetak dan portal berita; media penyiaran televisyen dan video dalam talian; dan media penyiaran radio dan radio dalam talian.\nBerdasarkan sambutan pelibatan dalam anugerah ini, sebanyak 48 penyertaan dilaporkan pada tahun 2019, manakala 59 penyertaan (tahun 2020) dan tahun 2021 mencatatkan peningkatan yang ketara, iaitu sebanyak 78 pengamal media telah mengambil bahagian.\n\u201cSaya percaya anugerah ini mampu membuka mata kelompok wartawan untuk memaparkan lebih banyak laporan mengenai KKP yang amat penting untuk diketahui dalam usaha membantu ke arah penambahbaikan hala tuju KKP di Malaysia.\u201d\n\u201cPengiktirafan yang diberikan oleh Anugerah Media MSOSH adalah menyeluruh dan mencerminkan ekosistem dan landskap semasa dunia media era digital.\u201d\nMengulas lanjut, Datuk Dr. Chamil turut mengatakan bahawa setiap pekerja mempunyai bidang kerja dan pekerjaan yang melibatkan risiko kemalangan tertentu. Hal ini sangat penting untuk memahami langkah dan pencegahan daripada berlakunya kemalangan, serta kekal sihat keberadaan seseorang pekerja itu di tempat kerja.\n\u201cMemanglah selalu dikatakan malang tidak berbau, tetapi sebagai wartawan, kita berupaya menyedarkan warga pekerja dan majikan mengenai KKP di tempat kerja. Malang yang tidak berbau itu boleh kita hidu lebih awal dan langkah menghindarinya boleh diambil terlebih dahulu bagi mencapai sifar kemalangan.\u201d\nSementara itu, Pengerusi MSOSH, Dr. Shawaludin Husin mengatakan bahawa MSOSH bersedia menganjurkan Persidangan Asia-Pacific Occupational Safety and Health Organization (APOSHO) 2023 bagi mengeratkan lagi kesefahaman dan kerjasama antara Negara-negara Ahli APOSHO dengan Malaysia.\n\u201cDengan langkah ini, kita dapat membuka lebih banyak ruang kepada pemain industri KKP serta ahli akademik untuk memberi input serta pandangan mengenai KKP di Malaysia,\u201d kata beliau.\nSelaras dengan Pelan Induk MSOSH 2022-2026, Dr. Shawaludin menyarankan agar pengamal media lebih produktif dalam melaporkan isu-isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan secara bertanggungjawab, di samping memantapkan penilaian audit KKP dalam sesebuah jabatan atau organisasi media yang lebih cemerlang.\nMengakhiri ucapan perasmian pelancaran Anugerah Media MSOSH 2022, Datuk Dr. Chamil menyeru para wartawan untuk menyahut cabaran ini untuk meneroka pemahaman KKP bukan sahaja dalam negara, malah cara penyampaian KKP di negara luar.\n\u201cSektor KKP adalah sangat penting dan sangat inklusif.\u201d\n\u201cKita harap dengan penyertaan yang semakin baik dari tahun ke tahun, penyertaan kali ini akan lebih baik dari tahun lalu dengan kualiti pengisian yang lebih mantap dan berwibawa,\u201d ujar Datuk Dr. Chamil dengan harapan agar anugerah ini menjadi satu anugerah yang berprestij dan memberikan manfaat kepada seluruh warga media dan masyarakat sejagat.\nBagi karyawan media yang ingin mengetengahkan karya mengenai KKP yang telah diterbit atau disiar, borang penyertaan dan syarat penyertaan boleh didapati di laman portal MPI. Penyertaan dibuka hingga 30 Jun 2022." "Lonjakan Paradigma Askar Wataniah Perlu Dilaksanakan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBukit Keteri \u2013 Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan majlis Penutupan Kursus Asas Disiplin Anggota Rendah (KADAR) Bakal Pegawai Tidak Tauliah Rendah (Sukarela) Siri 1/2022 Rejimen 504 Askar Wataniah Tahun 2022 di Padang Kawad Kem Bukit Keteri, Perlis semalam. Keberangkatan tiba baginda yang juga merangkap tuanku komander rejimen disambut oleh timbalan komander, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.\nMenurut titah Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, satu lonjakan paradigma perlu dilaksanakan dalam semua aspek dan pada setiap peringkat demi mencapai visi dan misi Rejimen 504 Askar Wataniah bagi memperkuatkan angkatan sukarelawan di negeri Perlis dan seterusnya memastikan rejimen ini terus relevan mengikut peredaran masa dan selaras dengan kehendak serta garis panduan yang ditetapkan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM).\n\u201cDi samping itu, semua anggota sukarelawan yang menyertai latihan dan kursus anjuran rejimen ini perlulah mencapai tahap mentaliti kelas pertama dengan memahami objektif pelaksanaan supaya matlamat latihan dan kursus tercapai serta memberi impak positif terutamanya kepada diri sendiri. Abaikan stigma saya hanyalah anggota sukarela kerana hal tersebut akan melemahkan minda, semangat dan seterusnya menghakis keyakinan diri,\u201d titah baginda lagi.\nBrigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut bertitah bahawa semua anggota angkatan sama ada tetap mahupun simpanan merupakan tulang belakang pertahanan negara.\nSelain itu, baginda turut mengucapkan tahniah kepada semua para peserta yang baru sahaja selesai menjalani kursus yang melayakkan mereka berkhidmat sebagai bakal Pegawai Tanpa Tauliah Rendah (PTTR) dengan lantikan pangkat Lans Koperal. Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut menyarankan supaya segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh dalam kursus ini dijadikan sebagai pemangkin bagi peningkatan dan kemajuan dalam Askar Wataniah untuk terus kekal aktif pada masa hadapan.\nAntara para penuntut terbaik dalam kursus tersebut termasuklah Nur Khairuddin Zulkifli (penembak), Mohd Nazafi Salim (kawad), Mohd Shawal Mohd Raadzi (ketabahan), Nurhanis Zambri (akademik) dan Nurul Afrina Abd Syadad (penuntut keseluruhan terbaik)." "PerantiSiswa Bakal Beri Manfaat kepada Mahasiswa Keluarga B40\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) bakal memberikan manfaat kepada mahasiswa keluarga B40.\nUsaha murni KKMM ini bertujuan untuk membantu mahasiswa daripada kelompok keluarga B40 yang mempunyai purata pendapatan seisi rumah di bawah RM4850 dengan memberikan peranti percuma kepada mereka yang berkelayakan hingga tamat tempoh pengajian.\nProgram PerantiSiswa ini melibatkan semua mahasiswa dalam kumpulan B40 yang belajar di peringkat pengajian diploma, diploma lanjutan, ijazah sarjana muda, dari setiap universiti awam (UA), Politeknik, kolej komuniti dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di bawah KPT.\nProses perolehan bagi inisiatif ini sedang dibuat dan dijangka selesai pada bulan Mei 2022, serta akan mula dilaksanakan pada bulan Jun 2022.\nKKMM dan KPT akan memberikan taklimat khusus kepada pihak IPT untuk kelancaran proses inisiatif ini.\nKerajaan memperuntukkan RM450 juta bagi melaksanakan inisiatif PerantiSiswa sebagai tanda keprihatinan kepada keperluan pembelajaran, terutamanya terhadap kumpulan B40 agar jurang digital dalam semua kelompok Keluarga Malaysia dapat dirapatkan.\nKeluarga Malaysia yang berkelayakan boleh mula memohon inisiatif PerantiSiswa bermula 15 April 2022 melalui pautan https://perantisiswa.kkmm.gov.my/." "Usah Mempolitikkan Bahasa pada Papan Tanda\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIsu yang berkaitan dengan papan tanda jalan di Shah Alam menjadi tular pada hujung tahun 2018 apabila tulisan Jawi yang sebelum ini ada pada papan tanda jalan tersebut telah ditukarkan kepada bahasa Cina. Isu ini sebenarnya bukanlah satu isu baharu. Pada tahun 2008, mantan ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda Gerakan pada ketika itu, iaitu Dr. Thor Teong Ghee, memasang papan tanda jalan berbahasa Cina di enam lokasi di sekitar Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang.\nTindakan tersebut pada mulanya dikatakan sebagai satu strategi Gerakan untuk memprovokasi DAP yang telah berjanji untuk meletakkan papan tanda pelbagai bahasa di sekitar Pulau Pinang semasa Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12). Kedua-dua isu ini dilihat telah mengheret bahasa kebangsaan untuk dipolitikkan sedangkan tindakan itu tidak wajar kerana kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah termaktub dalam undang-undang negara. Namun begitu, acap kali menjelang pilihan raya, pihak parti pemerintah dan pembangkang dilihat berlumba-lumba untuk menggunakan isu ini sebagai janji mereka kepada pengundi masing-masing.\nPapan tanda yang ada di sekitar Malaysia merupakan satu alat komunikasi yang menerangkan sesuatu maklumat tentang arah jalan, sebuah bangunan dan sebagainya kepada para pengguna. Papan tanda merupakan alat komunikasi yang ringkas tetapi penting. Bagi mencapai fungsinya dengan maksimum, maklumat yang terdapat di papan tanda harus jelas dan dapat dibaca dengan mudah. Papan tanda jalan di Malaysia kebanyakannya menggunakan bahasa Melayu, yang merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara. Hal ini demikian kerana bahasa kebangsaan sesebuah negara perlu menjadi keutamaan dalam semua urusan rasmi termasuklah papan tanda.\nNamun begitu, pengecualian yang mengizinkan penggunaan bahasa lain selain bahasa Melayu pada papan tanda bukannya tidak pernah berlaku di Malaysia. Contohnya, papan tanda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditulis dalam pelbagai bahasa selain daripada bahasa Melayu. Hal ini demikian bagi memastikan urusan di lapangan terbang terkawal dan mengurangkan kekeliruan dalam kalangan pelancong dari luar negara.\nUndang-undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982 dengan jelas menyatakan bahawa sesuatu iklan hendaklah dilakukan dalam bahasa Melayu, sama ada dengan sendirinya atau bersama-sama bahasa lain; perkataan dan huruf dalam bahasa Melayu hendaklah diberi keutamaan dari segi warnanya daripada kedudukan yang lebih jelas daripada perkataan atau huruf atau tulisan dalam bahasa lain yang digunakan; dan saiznya hendaklah tidak melebihi ukuran yang terdapat dalam bahasa Melayu.\nPada tahun 2008, Garis Panduan Perancangan Papan Iklan Luar telah dikuatkuasakan melalui Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bilangan 2 Tahun 2009. Garis panduan tersebut menekankan bahawa penggunaan bahasa Melayu hendaklah dipastikan betul dan tepat, baik dari segi penggunaan perkataan, susunan ayat, ejaan, tatabahasa dan sebagainya. Penggunaan bahasa yang betul hendaklah dirujuk dan perlu mendapat pengesahan daripada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terlebih dahulu. Namun begitu, penguatkuasaan yang longgar oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dilihat merupakan antara faktor berlakunya isu penggunaan bahasa lain seperti bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin pada papan tanda di Malaysia.\nIsu bahasa pada papan tanda sebenarnya telah lama dilihat menjadi agenda para pemimpin politik. Pada tahun 2008, pemimpin bukan Melayu menuduh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai cauvinisme Melayu, gara-gara tindakan pihak tersebut yang menaikkan papan tanda yang mempunyai tulisan Jawi di bawah nama jalan yang ditulis menggunakan tulisan rumi pada beberapa batang jalan di sekitar ibu kota. Tindakan DBKL tersebut hanya sebagai satu usaha untuk memartabatkan semula tulisan Jawi, yang merupakan tulisan asal bahasa Melayu sebelum tulisan rumi digunakan. Tambahan pula, tulisan Jawi pada papan tanda tersebut hanya bersaiz kecil dan masih lagi mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. Para pemimpin politik bukan Melayu mengecam tindakan DBKL tersebut sebagai tidak mempunyai semangat Malaysia dan mencadangkan agar papan tanda jalan bersifat muhibah yang mengandungi tiga bahasa, iaitu bahasa Melayu, bahasa Tionghua dan bahasa Tamil.\nSebagai contoh, setelah berakhirnya PRU-12, isu bahasa pada papan tanda ini timbul semula apabila mantan ahli MPPP, Thor Teong Ghee memasang papan tanda jalan berbahasa Cina di enam lokasi di sekitar Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang. Bukan sahaja papan tanda jalan itu berbahasa Cina, bahkan nama jalan tersebut juga diubah kepada dialek Kantonis sehingga menerima kecaman daripada pelbagai pihak. Tindakan Dr. Thor itu dikatakan hanya bertujuan untuk memprovokasi DAP yang telah berjanji untuk meletakkan papan tanda jalan pelbagai bahasa di sekitar Pulau Pinang dan setelah empat bulan, pihak DAP masih gagal melunaskan janji tersebut.\nProfesor Madya Dr. Sarjit Sing dari Jabatan Sains dan Kemanusiaan, Universiti Putra Malaysia pula menyatakan bahawa beliau melihat isu papan tanda berbahasa Cina tersebut lebih kepada motif politik walaupun pihak Pemuda Gerakan memberikan alasan bahawa pemasangan papan tanda berbahasa Cina tersebut adalah untuk membantu pelancong dari negara China, yang banyak berkunjung ke Pulau Pinang. Walau apa-apa pun alasannya, tindakan tersebut sebenarnya tidak wajar sama sekali jika semua pihak termasuklah pemimpin politik memahami Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, yang secara rasminya mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang perlu digunakan dalam semua urusan rasmi termasuklah pada papan tanda itu sendiri\nIsu bahasa pada papan tanda sekali lagi tular pada penghujung tahun 2018 sehingga melibatkan campur tangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Isu ini bermula apabila seorang penduduk di Shah Alam mempersoalkan pemasangan papan tanda berbahasa Cina di kawasan kediamannya di akaun Twitter miliknya. Menurut individu tersebut, papan tanda sebelum ini yang menggunakan tulisan Jawi telah diturunkan dan digantikan dengan papan tanda berbahasa Cina tersebut.\nMajlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang memberikan maklum balas kepada individu tersebut memaklumkan bahawa Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Negeri Selangor yang diadakan pada 13 Januari 2017 telah memutuskan bahawa penggunaan papan tanda nama jalan dwibahasa selain daripada rumi, penggunaan nama jalan di kawasan kampung tradisi menggunakan tulisan Jawi dan tulisan dalam bahasa Cina kerana bersesuaian dengan komuniti di kawasan tersebut. Namun begitu, tindakan tersebut dilihat bertentangan sama sekali dengan Garis Panduan Perancangan Papan Iklan Luar yang telah ditetapkan.\nMenurut Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah menyatakan bahawa dasar mengutamakan bahasa kebangsaan pada papan tanda jalan, iklan atau papan tanda tidak pernah diubah sejak pengambilan kerajaan baharu dan keputusan pemasangan papan tanda berbahasa Cina tersebut ialah keputusan yang dimuktamadkan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Manakala menurut Dato\u2019 Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor pula, pemasangan papan tanda dwibahasa tersebut tidak pernah dibawa dalam perbincangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan tindakan akan dilakukan bagi menyemak semula keputusan tersebut.\nWalau bagaimanapun, pihak MBSA menjunjung perintah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, yang menitahkan agar mengambil tindakan untuk menurunkan papan tanda jalan berbahasa Cina itu dan menggantikannya semula dengan papan tanda berbahasa Melayu sahaja sesegera mungkin. Tindakan baginda sememangnya wajar kerana sebagai pemerintah, baginda mempunyai tanggungjawab dan kuasa untuk memastikan bahawa semangat Perlembagaan, falsafah di sebalik setiap undang-undang yang digubal serta kepentingan lebih besar negara dan warga sentiasa dilindungi.\nPolemik bahasa pada papan tanda sentiasa mendapat perhatian masyarakat Malaysia kerana isu bahasa merupakan antara isu yang cukup sensitif. Oleh itu, setiap masalah yang timbul berkaitan dengannya harus diselesaikan secara rasional. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan yang bukan sahaja untuk orang Melayu, bahkan untuk semua warganegara Malaysia. Tidak wujudnya keperluan untuk meletakkan bahasa Cina, yang bukan sahaja pada papan tanda di Shah Alam, bahkan juga di seluruh kawasan di Malaysia kerana sebagai warganegara, setiap daripada kita seharusnya mengetahui tentang bahasa kebangsaan negaranya.\nPerkara ini juga sewajarnya tidak berlaku jika setiap pihak terutamanya PBT mengikut setiap garis panduan yang telah ditetapkan. Kenyataan Datuk Zuraida Kamaruddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bahawa pihak kementeriannya akan mengkaji semula dan mengeluarkan ketetapan serta peraturan yang lebih tegas bagi memastikan bahasa kebangsaan diletakkan di tempat yang sepatutnya wajar dilaksanakan secepat mungkin agar polemik bahasa pada papan tanda akan tidak berulang lagi pada masa hadapan. Pengumuman Menteri Besar Selangor, Dato\u2019 Seri Amirudin Shari yang menyatakan bahawa semua papan tanda jalan di negeri Selangor wajib menggunakan hanya satu bahasa sahaja, iaitu bahasa Melayu sangat tepat dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan di Malaysia.\nTuntasnya, bahasa kebangsaan merupakan isu yang tidak wajar dipolitikkan oleh sesiapa sahaja terutama mereka yang bergelar ahli politik. Isu pelbagai bahasa pada papan tanda juga tidak akan timbul jika setiap pihak memahami dengan sebaik-baiknya Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Alasan kepelbagaian kaum yang ada di Malaysia dalam isu papan tanda ini tidak perlu diberi kompromi kerana akan mengundang lebih banyak masalah kemudian harinya. Bahkan, sudah tiba masanya DBP diberi peranan dan kuasa yang lebih dalam penguatkuasaan berkaitan dengan bahasa termasuklah dalam isu bahasa pada papan tanda dan bukannya hanya sekadar memberikan khidmat nasihat seperti ketika ini." "Perkataan \u201cBanyak\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nAdakah perkataan banyak tergolong sebagai kata adjektif atau kata bilangan?\n\u00a0\nDaripada:\nSahimah Ahmad,\nSkudai, Johor Bahru." "Raja Muda Perlis Hargai Komitmen dan Kesatuan Rejimen Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBukit Keteri \u2013 Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan penghargaan dan mengucapkan syabas atas taat setia yang dicurahkan oleh Rejimen 504 Askar Wataniah Rejimen Perlis.\nDalam ucapan baginda menitahkan rasa bangga dengan semangat, komitmen dan kesatuan yang ditunjukkan oleh seluruh warga rejimen itu sepanjang tempoh melalui era pandemik yang lalu.\n\u201cSemua anggota angkatan tetap yang berkhidmat di rejimen ini merupakan jurulatih kepada Askar Wataniah di negeri Perlis. Maka itu, sayangi dan ajarilah anggota sukarela dengan sepenuh jiwa,\u201d titah Raja Muda Perlis merangkap Brigedier Jeneral ketika berkenan berangkat menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama warga rejimen.\nDalam masa yang sama, baginda menegaskan Askar Wataniah perlu peka dalam melaksanakan tugas hakiki yang diamanahkan demi kesejahteraan negara, khususnya di negeri Perlis itu sendiri.\nHal ini dikatakan demikian dapat melahirkan angkatan tentera yang berkredibiliti dalam melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab.\nMajlis Berbuka Puasa dan Santapan Malam Tuanku Komander bersama Warga lR504AW 2022 turut dihadiri oleh Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak, para pegawai dan warga rejimen.\nTuanku Raja Muda turut berkenan solat maghrib, isyak dan sunat tarawih di Surau Al-Watani kem tersebut sebelum sama-sama berangkat menyertai jamuan santapan moreh di Kelab Perwira rejimen.\nTerdahulu daripada itu, diadakan sesi tazkirah yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Haji Mohd Nazim Mohd Noor serta penyerahan Sumbangan Amilin Petugas Lebaran kepada pihak rejimen berjumlah RM2400 daripada pihak MAIPs." "Misi Jelajah Berbasikal Solo Alumni UPNM ke Eropah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMisi Jelajah Berbasikal Alumni Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)\u00a0Eropah 2022 memperlihatkan graduan alumni UPNM sentiasa berusaha untuk meningkatkan nama universiti demi kecemerlangan bersama.\nMisi Jelajah Eropah yang sepatutnya diadakan pada tahun 2020\u00a0terpaksa ditangguhkan akibat pandemik COVID-19. Namun begitu, kini misi ini akan direalisasikan\u00a0dengan tujuan untuk memperkenalkan Malaysia dan UPNM kepada masyarakat tempatan bahkan pada peringkat global, selain daripada menyampaikan mesej solidariti dan perpaduan.\nTahniah kepada Wan Mohammad Faris Wan Mohd.\u00a0Nor, Alumni UPNM yang mengorak langkah dengan idea dan menyahut cabaran tersebut. Idea ini telah diilhamkan oleh graduan alumni UPNM, berikutan daripada kejayaan misi sebelum ini yang telah menyempurnakan kayuhan basikal mengelilingi Semenanjung Malaysia secara solo pada tahun 2019.\nProgram ini akan berlangsung pada 7 Mei 2022 dan dijangka berakhir pada 21 Julai 2022 yang memakan masa hampir 74 hari, dengan misi pengembaraan ke 20 buah negara di Eropah bermula dari England dan berakhir di Turki.\nSebuah travelog 20 episod juga akan diterbitkan dan mengisahkan semangat Wan Mohammad Faris yang menggunakan basikal lipat untuk mengembara di bumi Eropah Barat.\nSelain itu, program jelajah ini memberikan satu simbolik dan strategi UPNM untuk menyebarluas penjenamaan UPNM,\u00a0selain bertemu dengan Alumni UPNM di Eropah. Selaras dengan falsafah UPNM,\u00a0iaitu melahirkan pemimpin berintelektual yang menyerlah serta bersifat terpuji dan komited untuk berbakti sepenuhnya kepada negara dalam menjayakan kelangsungan kepentingan strategik negara.\nHubungan erat dan akrab antara alumni UPNM dengan universiti bersiap sedia untuk kembali menyumbang bakti kepada universiti demi kebersamaan ke arah kecemerlangan universiti. Hal ini demikian akan menjadi pemangkin dan meningkatkan motivasi diri kepada semua mahasiswa di Malaysia yang masih mengikuti pengajian.\nSusulan daripada itu, majlis penyerahan bendera alumni UPNM telah dilaksanakan pada hari ini sebagai tanda sokongan pihak pengurusan universiti kepada alumni yang sentiasa berusaha untuk meningkatkan potensi dan kecemerlangan diri demi nama baik universiti. Majlis ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor UPNM, YBhg.\u00a0Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah di UPNM.\nTurut hadir dalam majlis tersebut adalah pengurusan tertinggi UPNM dan jawatankuasa yang terlibat. Majlis Simbolik Penyerahan Bendera Alumni ini dilakukan sebagai wadah untuk memperlihatkan kecemerlangan universiti bersama alumni.\nAyuh rakyat Malaysia, marilah\u00a0kita bersama-sama mendoakan agar Wan Mohammad Faris dapat merealisasikan misi ini, sekali gus mengharumkan nama Malaysia gah di pentas antarabangsa.\nProf. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw,\u00a0Pakar Psikologi Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan\u00a0Felow Kluster Wanita dan Masyarakat Majlis Profesor Negara." "Didik Amalan Menabung Sedari Kecil \u2013\u00a0Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau\u00a0\u2013\u00a0\u00a0\u201cTabungan untuk masa depan merupakan kemestian kepada semua individu, khususnya sebagai persiapan bagi kelangsungan hidup seperti persediaan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.\n\u201cDidikan amalan menabung hendaklah diasuh awal dan dimulakan sedari kecil,\u201d titah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam satu hebahan media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)\u00a0petang tadi.\nTambah baginda, budaya menabung wajar dijadikan satu mata pelajaran dalam pendidikan negara agar melahirkan pewaris negara yang bijak dalam pengurusan kewangan, lantas menjadikan masyarakat yang minda kelas pertama.\nDemikianlah titah baginda merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs selepas berkenan berangkat menerima sembah mengadap hormat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid yang diadakan di Masjid Al-Mursyid, Pauh Guring.\nSehubungan dengan itu, Ahmad Dasuki memaklumkan bahawa PTPTN sentiasa mengalu-alukan masyarakat untuk melakukan tabungan selain turut menyediakan kemudahan transaksi secara dalam talian bagi memudahkan masyarakat.\nAhmad Dasuki berkata, pembukaan akaun Simpan SSPN dan penambahan deposit secara dalam talian tanpa perlu hadir ke kaunter dilaksanakan sebagai satu daripada usaha PTPTN untuk menggalakkan amalan menabung dalam kalangan masyarakat\nTurut serta ialah Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar, Pengurus Besar Negeri Pejabat PTPTN Negeri Perlis, Siti Jahara Mohd Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor.\nMajlis penutupan itu dilaksanakan dengan penyerahan RM21\u00a0000 oleh Raja Muda Perlis bagi pihak MAIPs untuk diagihkan oleh amil masjid tersebut,\u00a0Ku Mat Isa Ku Ismail kepada seramai 30 asnaf terpilih dalam kalangan anak kariahnya." "UPNM Menganjurkan Webinar \u201cCabaran Wanita dalam Keselamatan\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pejabat Penolong Naib Canselor (Perkhidmatan, Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menjadi hos Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), Women in Search of Excellence \u2013 WiSE, Siri ke \u2013 8\u00a0pada pagi ini dengan tajuk \u201cCabaran Wanita Dalam Keselamatan\u201d pada jam 9.30 pagi hingga 2.00 petang melalui platform Facebook UPNM.\nMajlis dirasmikan oleh Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Penasihat Diraja YTF dan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah. Manakala majlis penutup pula disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pengerusi YTF.\n\nUcapan alu-aluan disampaikan oleh Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah dan ucaptama pula disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.\nPenolong Naib Canselor (Perkhidmatan, Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat) UPNM, Dato\u2019 Dr. Junaidah Kamarruddin membuat rumusan webinar dan disusuli dengan ulasan ucaptama oleh Dr. Surayya Mohd Saudi, Pengarah Bahagian Korporat UPNM dan KDR Hani Kalsom Hashim TLDM, Timbalan Pengarah NiEEd UPNM.\nForum bual bicara 1 mengupas tentang \u201cPeranan Wanita Dalam Pertahanan dan Keselamatan Negara\u201d yang disampaikan oleh panelis Brigedier Jeneral Dr. Normah Samsuri, Pengarah Pergigian PMBTD, Brigedier Jeneral Fadzillah Abdullah TUDM, Pengarah Bahagian Operasi dan Latihan Pertahanan ATM dan KDR Ts. Dr. Haliza Mohd Zahari TLDM, Pengarah HADR UPNM. Manakala moderator ialah Prof. Dr. Haslinda Abdullah @ Betsy Bennet, Pengarah NiEEd UPNM.\nFokus forum bual bicara 2 pula adalah \u201cKeselamatan Wanita Dalam Perspektif Undang-Undang\u201d yang disampaikan oleh panelis Dr. Zurina Abdul Hamid, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Farah Adura Hamidi, Timbalan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti & Anti Rasuah Nasional JPM, LT KDR Dr. Mazura Md Saman, Timbalan Pengarah CoMIHL UPNM serta Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz, Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM. Moderator forum pula adalah Senator Datuk Ras Adiba Razi, Ahli Dewan Negara." "Singkir Persepsi Negatif terhadap Wanita \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa anggapan atau perspektif bahawa bidang ketenteraan tidak sesuai kepada wanita adalah tidak lagi relevan.\nDi sebalik sifat lemah lembut seorang ibu, ciri-ciri kepimpinan seorang wanita dapat dilihat melalui ketegasan dalam mendidik dan membimbing anak-anak.\nRata-rata wanita sekarang juga berpelajaran tinggi, mempunyai pekerjaan, berkedudukan baik, mempunyai sifat kepimpinan dan berkaliber dalam tugasan. Seseorang seharusnya diberi merit dan penghargaan berdasarkan pencapaian kendiri mereka dan bukanlah berdasarkan kepada aspek jantina sahaja.\nDemikian titah baginda ketika berkenan merasmikan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF): Women in Search of Excellence \u2013 WiSE, Siri ke \u2013 8 anjuran bersama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan YTF melalui platform Facebook UPNM dengan tajuk \u201cCabaran Wanita dalam Keselamatan\u201d.\nTerdahulu, Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah menyampaikan kata-kata aluan dalam program yang dihoskan oleh Pejabat Penolong Naib Canselor (Perkhidmatan, Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat) UPNM tersebut.\nTuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Penasihat DiRaja YTF dan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah menambah bahawa \u201cBerdiri sama tinggi, duduk sama rendah- kaum wanita seharusnya difahami sebagai seseorang yang mempunyai keyakinan, kecenderungan, minat dan perspektif yang pelbagai. Memberikan persepsi negatif sebelum memberikan peluang kepada wanita amat menyukarkan mereka untuk bekerjasama dengan orang lain. Hari ini, lebih ramai wanita diberi kepercayaan untuk mengemudi tampuk kepimpinan, baik dalam bidang ketenteraan dan keselamatan mahu pun dalam bidang lain seperti korporat dan pendidikan\u201d.\nJelas Tuanku Raja Muda lagi, \u201cBagi wanita berkerjaya yang telah mendirikan rumah tangga dan mempunyai zuriat, mereka sentiasa mempunyai dilema sama ada memilih keluarga atau pun meneruskan kerjaya. Persefahaman antara suami isteri amatlah penting dan tugas serta peranan seorang ibu dan isteri mesti ditunjang oleh suami demi kebahagiaan bersama. Selain itu, dorongan dan sokongan orang yang rapat dan keluarga juga penting untuk menjaga kestabilan emosi dan mental seseorang. Hal ini demikian kerana ada sesetengah majikan mendesak pekerjanya untuk sentiasa komited dan kompeten dalam tugas dan tanggungjawab mereka. Polisi kerja dan kehidupan yang seimbang (work-life balance) akan membolehkan pekerja wanita memberikan tumpuan tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga masing-masing\u201d.\nPerasmian penutup webinar tersebut disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pengerusi YTF di akhir program." "Manfaat Besar Pembukaan Sempadan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPandemik COVID-19 yang melanda pada tahun 2020 tidak memberikan banyak pilihan kepada negara di dunia selain menutup sempadan negara masing-masing. Hal yang demikian juga dengan Malaysia yang terpaksa melakukan tindakan yang sama demi melindungi rakyat dan negara ini daripada ancaman COVID-19.\nSetelah hampir dua tahun berlalu, kerajaan pada akhirnya membuat keputusan untuk membuka semula sempadan negara bermula pada 1 April 2022. Langkah tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri Dato\u2019 Seri Ismail Sabri Yaakob dengan menekankan bahawa keputusan tersebut adalah selaras dengan pengumuman peralihan negara ke fasa endemik pada April 2022.\n\u201cKeputusan ini dibuat bersandarkan kepada tiga perkara asas, iaitu pertama, keputusan tersebut berpandukan sains dan fakta yang terkini berkaitan dengan COVID-19; kedua, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara-negara lain; ketiga, memberikan keselesaan kepada pengembara dengan tidak merumitkan perjalanan mereka,\u201c katanya.\nBeliau berkata, paling penting, Malaysia kini merupakan destinasi terbuka dan boleh dikunjungi oleh semua pelancong dari serata negara. Katanya lagi, dengan pembukaan semula sempadan negara ini, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah kini boleh keluar masuk negara seperti biasa, serta dibenarkan untuk pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya kepada pengembara dari luar. Pada masa yang sama, rakyat negara luar dengan dokumen perjalanan yang sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan. Sebaliknya, mereka hanya perlu memuat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan Pre-Departure Form melalui fungsi \u201cTraveller\u201d dalam MySejahtera,\u201c katanya.\nWalau bagaimanapun, mengambil kira situasi penularan COVID-19 terutamanya gelombang Omicron yang masih melanda negara dan kebanyakan negara di seluruh dunia, Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa masih terdapat beberapa prosedur yang wajib dipatuhi sama ada oleh rakyat Malaysia sendiri mahupun pengembara dari luar yang ingin masuk ke Malaysia.\nTernyata pembukaan sempadan negara disambut baik oleh banyak pihak. Bagi pihak industri yang berkaitan dengan pelancongan, pengumuman Perdana Menteri itu sememangnya amat dinanti-nantikan sebagai langkah yang paling tepat untuk merancakkan kembali sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.\nKementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yakin bahawa penggiat industri pelancongan sudah bersiap sedia bagi menerima pelancong dari luar. Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihaknya sudah lama mengadakan perjumpaan dengan penggiat industri pelancongan. Maka itu, MOTAC akan menyasarkan kedatangan sebanyak dua juta pelancong ke Malaysia pada tahun 2022 dengan keuntungan melebihi RM6.8 bilion. Bagi mencapai sasaran kedatangan dua juta orang pelancong itu, MOTAC turut telah merangka pelbagai strategi bagi mencapai sasaran tersebut.\nSementara itu, menurut Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), pengumuman pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April lalu sememangnya menjadi khabar gembira untuk Malaysia. Presiden MATA, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, ahli-ahli dalam persatuan itu telah membuat pelbagai promosi pakej pelancongan untuk pelancong dari dalam dan luar negara.\n\u201cRata-rata ahli kami dari sektor pelancongan menyambut dengan penuh kegembiraan atas pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri. Kami telah melakukan banyak promosi, iaitu sebulan sebelum pengumuman itu dibuat. Kini, kami yakin bahawa kami telah melakukan yang terbaik untuk mempromosikan negara ini kepada pelancong antarabangsa. Tambah beliau, ahli-ahlinya dari sektor lain seperti taman tema, restoran, perkapalan serta kedai cenderahati sudah tentu mengukir senyuman di atas pengumuman itu.\nSementara itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Negeri Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menjelaskan bahawa negeri itu turut menyambut baik pembukaan semula sempadan negara. Keputusan itu katanya merupakan petanda baik untuk pemulihan segera pelbagai sektor ekonomi negara yang terjejas teruk terutamanya industri pelancongan dan hospitaliti.\n\u201cSarawak kehilangan berbilion ringgit pendapatan daripada industri pelancongan dan perhotelan yang sejak beberapa tahun lalu menjadi penyumbang kepada ekonomi tempatan serta menjadi mata pencarian mereka yang bekerja dalam industri hiliran. Maka itu, pembukaan sempadan ini pastinya membawa limpahan faedah kepada rakyat dan negara. Hal yang demikian juga dengan industri pelancongan perubatan yang akan mendapat manfaatnya,\u201d katanya.\nBagi kerajaan negeri Sabah pula, pembukaan semula sempadan negara diyakini akan membantu memulihkan ekonomi Sabah yang terjejas teruk akibat penularan COVID-19. Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, penutupan sempadan Malaysia sejak kira-kira dua tahun lalu amat menjejaskan sektor pelancongan negeri yang merupakan antara sumber pendapatan utama ekonomi Sabah. Maka itu, keputusan membuka semula sempadan negara akan membolehkan ekonomi negara terus kekal berdaya saing terutamanya dalam sektor pelancongan.\nBagi pakar ekonomi PublicInvest Research, Dr Rosnani Rasul, penutupan sempadan negara telah menjejaskan sektor perkhidmatan, khususnya subsektor yang berkaitan dengan pelancongan dan sampingan (contohnya peruncitan, seni dan budaya) memandangkan penurunan yang mendadak khususnya ketibaan pelancong antarabangsa yang berkurangan kepada 4.3 juta orang pada tahun 2020 (daripada 26 juta pada tahun 2019). Maka itu, perbelanjaan pelancong pada tahun 2020 juga merosot separuh atau kepada RM40.4 bilion daripada RM86.1 bilion pada tahun sebelumnya.\nLebih penting lagi katanya, pelancongan merupakan satu daripada industri terbesar di Malaysia dan menyumbang hampir enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara serta menggaji hampir satu per empat daripada tenaga kerja di Malaysia.\n\u201cPenutupan beberapa sektor terutamanya perkhidmatan turut menyumbang kepada peningkatan yang mendadak dalam pengangguran yang mencapai kemuncak, iaitu sebanyak 5.3 peratus pada Mei 2020 akibat wabak itu. Sempadan yang ditutup juga merupakan tekanan berat bagi sektor-sektor utama seperti pertanian dan pembuatan yang telah menghadapi isu kekurangan buruh,\u201d ujarnya menurut laporan yang diterbitkan dalam DagangNews.com.\nOleh itu, menurutnya pembukaan semula sempadan juga akan memulihkan sektor pelancongan yang telah menanggung beban pandemik COVID-19 walaupun pemulihan akan beransur-ansur memandangkan penduduk ASEAN hanya dijangka menerima vaksin sepenuhnya menjelang tahun 2023.\nKetibaan pelancong ke Malaysia diharapkan dapat merancakkan kembali ekonomi negara yang pastinya bukan hanya berkisar pada industri pelancongan tetapi impak ekonomi secara menyeluruh." "Banteras Isu Keganasan terhadap Wanita \u2013 Raja Puan Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRaja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menyeru rakyat supaya bersama-sama menggembleng tenaga untuk menangani isu keganasan terhadap wanita.\n\u201cLangkah-langkah yang proaktif dan pencegahan perlu diambil secara serius oleh setiap agensi bagi membantu dalam membanteras isu keganasan terhadap wanita dengan harapan lebih ramai dapat dilindungi dengan berpaksikan peraturan dan undang-undang sedia ada.\u201d\n\u201cPerilaku seorang wanita yang lembut tutur katanya dan tingkah lakunya menjadi sebab untuk mereka dilindungi dan dipelihara dengan baik seperti ajaran Islam yang mengangkat darjat dan martabat seorang wanita.\u201d\n\nDemikian titah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ketika berkenan merasmikan penutupan \u201cWebinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF): Women in Search of Excellence \u2013 WISE, Siri ke-8\u201d anjuran bersama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan YTF melalui Facebook UPNM dengan tajuk \u201cCabaran Wanita Dalam Keselamatan\u201d pada petang semalam.\nBaginda menzahirkan kebimbangan apabila statistik kes keganasan terhadap wanita ini semakin meningkat dari tahun ke tahun.\n\u201cDi Malaysia, tercatat 57 519 kes keganasan terhadap wanita telah direkodkan sejak tahun 2010. Sebagai contoh, statistik dari sumber Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperlihatkan 6443 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan sepanjang tahun 2021.\u201d\nTuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah selaku Pengerusi YTF turut mendoakan agar para wanita di Malaysia ini terus dilindungi dan disantuni dengan sempurna dan sebaiknya.\nPada kesempatan yang sama Tuanku Raja Puan Muda tertarik dengan satu matlamat dalam Dasar Wanita Negara oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), iaitu memberi fokus untuk menyediakan persekitaran yang kondusif termasuklah penggubalan dasar dan perundangan mesra wanita, bagi meningkatkan martabat dan kesejahteraan hidup wanita.\n\u201cIni merupakan hasil usaha yang sangat jitu. Saya berharap agar dasar ini dilaksanakan dengan penambahbaikan secara berterusan seiring dengan isu dan cabaran yang dihadapi oleh kaum wanita masa ini.\u201d\nPerasmian pembukaan webinar ini disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.\nHadir sama mengiringi keberangkatan baginda ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang menyampaikan ucaptama dan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah yang memberikan kata-kata aluan pada awal sesi. Program ini diurusetia oleh Pejabat Penolong Naib Canselor (Perkhidmatan, Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat) UPNM." "Sebanyak 157 Warga DBP Menerima AP dan APC 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2212 Bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP,\u00a0 berlangsung Majlis Anugerah Perkhidmatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 serta Pelancaran Buku Manual Kewangan DBP yang bermula pada pukul 9.30 pagi hari ini.\nMajlis anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini menyaksikan sebanyak 157 orang warga DBP diberikan anugerah atas perkhidmatan baik yang ditonjolkan \u2212 93 orang penerima Anugerah Perkhidmatan (AP) dan 64 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).\nDalam majlis yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, beliau berkata, \u201cAnugerah ini amat bermakna kepada penjawat awam kerana segala khidmat dan bakti yang dicurahkan dihargai dan diiktiraf oleh organisasi dan kerajaan.\u201d\nPeranan penjawat awam sebagai jentera penggerak kepada kerajaan bukanlah satu tugas yang mudah khususnya dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat disempurnakan dengan baik dan berkesan.\n\u201cPada masa yang sama, penjawat awam juga perlu mengharungi perjalanan yang penuh mencabar sepanjang tahun 2021, iaitu pandemik COVID-19, perubahan politik serta bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir. Oleh itu, penjawat awam perlu melalui berbagai-bagai perubahan dari segi cara bekerja sehingga tuntutan mengadaptasi norma baharu dalam kehidupan seharian,\u201d tambah beliau.\nDalam majlis ini, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan berkata, \u201cUntuk menjadi organisasi cemerlang, sudah tentu pekerja yang mempunyai prestasi kerja cemerlang diperlukan. Aspek-aspek seperti pengetahuan, kemahiran, pengalaman, kecekapan dan nilai positif serta kepakaran yang dimiliki oleh pekerja merupakan aset yang tidak ternilai. Semuanya diperlukan demi memastikan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan berada pada tahap cemerlang.\u201d\nBeliau turut mengingatkan, \u201cPemberian anugerah pada hari ini bukan hanya sebagai pendorong dan pengiktirafan kepada prestasi kerja cemerlang semata-mata.\u201d\nDalam skop yang lebih luas lagi, anugerah ini menjadi penggerak transformasi dan peneraju perubahan positif dalam membudayakan kecemerlangan.\n\u201cKecemerlangan bukan sekadar diukur dengan tercapainya sasaran kerja tetapi juga perkhidmatan yang bersih dan berintegriti. Sehubungan dengan itu, \u2018Budaya Kerja Kelas Pertama\u2019 yang menggabungkan integriti, disiplin dan tanggungjawab, mestilah menjadi pegangan setiap penjawat awam agar mereka dapat menjalankan tugas dengan jujur dan telus,\u201d jelas YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang.\nDalam ucapan alu-aluan oleh Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran menyatakan bahawa DBP beruntung kerana memiliki sumber manusia yang berkualiti dan bermotivasi.\nKejayaan yang dicapai oleh DBP selama ini adalah kerana kesungguhan dan rasa tanggungjawab staf DBP terhadap amanah yang diberikan kepada mereka.\nMenurut beliau, \u201cMajlis penganugerahan hari ini adalah sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan semua staf DBP yang diwakili oleh rakan-rakan yang menerima anugerah pada hari ini. Dalam hal ini, iltizam dan kerjasama amat penting dalam kerja sebagai satu pasukan. Kepada semua penerima anugerah, kita mesti mempertahankan kerjasama dan kerja secara berpasukan yang kita amalkan selama ini, seperti kata orang tua-tua, \u2018ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua\u2019.\u201d\nAP DBP telah diwujudkan bermula pada tahun 1970 dan merupakan penghargaan DBP kepada staf yang menunjukkan kesetiaan untuk terus memberikan khidmat bakti yang terbaik kepada DBP. Kriteria pemilihan adalah berdasarkan tempoh perkhidmatan yang melayakkan dan tertakluk pada syarat yang tertentu.\nKesemua 93 orang penerima AP tersebut menerima sijil penghargaan dan insentif AP mengikut tempoh perkhidmatan masing-masing \u2212 20 tahun (sijil simpanan premium RM350); 25 tahun (sijil simpanan premium RM500); 30 tahun (sijil simpanan premium RM750); 35 tahun (sijil simpanan premium RM1000); dan 37 tahun (wang tunai RM5000 yang dimasukkan ke dalam akaun Tabung Haji).\nSementara itu, APC merupakan penghargaan Kerajaan Malaysia kepada anggota Perkhidmatan Awam yang telah memberikan perkhidmatan yang cemerlang. Pemilihan adalah berdasarkan garis panduan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 Tahun 2012 dan juga kriteria tambahan pemilihan penerima APC DBP yang ditetapkan oleh Mesyuarat Panel Pembangunan Sumber Manusia DBP.\nKesemua 64 orang staf DBP yang memenuhi syarat dan menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang bagi tahun 2021 menerima Sijil Perkhidmatan Cemerlang; Hadiah Prestasi sebanyak RM1000; dan diberikan peluang dalam pencalonan untuk menerima pingat, bintang dan darjah kebesaran persekutuan dan negeri.\nTurut diadakan ialah Pelancaran Buku Manual Kewangan DBP, iaitu Manual Prosedur Perolehan dan Bayaran Dewan Bahasa dan Pustaka yang disempurnakan oleh YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan disaksikan oleh Pengurusan Tertinggi serta warga kerja DBP." "Budaya Kerja Kelas Pertama, Angkat Profesionalisme Warga DBP \u2013\u00a0YBhg. Datuk Yusran\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bagi mengekalkan iklim organisasi yang positif dan produktif, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) saban tahun mengadakan Majlis Anugerah Perkhidmatan (AP) dan Anugerah Perkhidmat Cemerlang (APC) bagi meraikan pekerja yang telah berkhidmat dan mencapai prestasi cemerlang sepanjang tempoh perkhidmatan.\nKetua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, hari ini menyempurnakan dua agenda dalam satu majlis, iaitu penghargaan kepada 157 penerima anugerah AP dan APC Tahun 2021, serta pelancaran buku Manual Prosedur Kerja Perolehan dan Bayaran Dewan Bahasa dan Pustaka, bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.\nDalam majlis tersebut, YBhg. Datuk Yusran menyeru semua penjawat awam khususnya warga DBP agar bergerak seiring dengan peralihan fasa ini dan sentiasa peka terhadap perubahan semasa.\nEkspektasi pelanggan atau rakyat terhadap perkhidmatan awam semakin hari semakin tinggi dan ini sudah tentunya memerlukan kita membuat pembaharuan yang berterusan supaya kita sentiasa responsif, relevan dan berkesan.\n\u2018Budaya Kerja Kelas Pertama\u2019 mestilah menjadi pegangan kepada setiap warga DBP supaya menjalankan tugas dengan berintegriti, berdisiplin dan bertanggungjawab.\nMaka itu, adalah penting bagi warga DBP untuk membekalkan diri dengan ilmu, kemahiran dan kebolehan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada pelanggan, lantas memenuhi kehendak pemegang taruh.\nDalam konteks ini, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan mengatakan bahawa strategi yang paling ampuh yang akan menghasilkan lonjakan besar adalah dengan memperkasakan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan.\nPegawai yang cemerlang seharusnya mempunyai tahap kecerdasan dan kecekapan yang tinggi, berkebolehan merancang dan mengendalikan program, serta menetapkan keutamaan dalam menyelesaikan masalah.\nTambah Datuk KSU,\nProfesionalisme sebagai penjawat awam perlu diangkat martabatnya melalui kredibiliti dan imej yang ditonjolkan. Warga DBP haruslah menjaga dan mencipta keperibadian diri yang unggul, serta mempertahankan nilai integriti dalam perkhidmatan.\nPada masa yang sama, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Salehuddin Abg Shokeran mengatakan bahawa isu integriti dan kecekapan merupakan antara fokus utama DBP dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan berjalan dengan baik.\nPada 5 Ogos 2021 lalu, Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dato\u2018\u00a0Seri. Mohd Zuki Ali telah melancarkan Pelan Anti Rasuah DBP 2021\u20132025, dan melalui pelan ini DBP beriltizam untuk menghindar dan menghapuskan segala bentuk rasuah di institusi ini.\nHal ini merupakan iltizam dan komitmen DBP untuk menghasilkan budaya integriti dan kecekapan dalam semua bidang, termasuklah isu-isu berkaitan dengan kewangan wajib dipatuhi tanpa kompromi.\nSepertimana masyarakat sedia maklum, kerajaan telah menunjukkan iltizam dalam usaha mengangkat bahasa dan persuratan Melayu melalui ucapan penggulungan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri di Dewan Rakyat. YAB Dato\u2019 Sri Ismail menyatakan kesediaan untuk meminda Akta DBP bagi membolehkan DBP mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu ke peringkat antarabangsa dengan lebih proaktif.\n\u201cPindaan akta ini akan memberi lebih kuasa kepada DBP untuk menyemarakkan lagi penggunaan bahasa Melayu bukan sahaja dalam sekitar kerajaan, malahan turut merangkumi sektor swasta dan luar negara.\u201d\n\u201cMandat yang bakal diberikan ini tidak boleh disia-siakan dan saya yakin dengan tampuk kepimpinan dan warga kerja sedia ada mampu melaksanakan dasar ini dengan berkesan.\u201d\nDemikianlah ucapan YBhg. Datuk Yusran dengan saranan agar warga DBP bersiap sedia untuk menggembleng tenaga, memberikan sepenuh komitmen dan ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.\nSementara itu, YBhg. Datuk Seri Profesor Dr. Awang berkata, \u201cSetiap pegawai mestilah memiliki kesabaran, bersemangat kental dalam memastikan matlamat dan agenda memartabatkan bahasa Melayu tetap dilestarikan terutamanya ketika berhadapan dengan saat-saat yang sukar seperti penularan pandemik COVID-19\u201d.\nYBhg. Datuk Yusran merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada 64 orang penerima APC dan 93 orang penerima AP bagi tahun 2021 serta semua warga DBP kerana telah berbakti dan banyak menyumbang kejayaan kepada organisasi.\n\u201cJadikanlah penghargaan dan pengiktirafan ini sebagai pemangkin untuk terus bersemangat dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, khususnya dalam memartabatkan bahasa dan sastera melalui pelbagai wahana,\u201d kata beliau mengakhiri ucapan perasmian dalam majlis pada pagi ini." "KSU KPM Memuji Usaha DBP Membangunkan JendelaDBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada pagi ini menerima kehadiran, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof ke Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 serta Pelancaran Manual Kewangan Dewan Bahasa dan Pustaka. \nBeliau yang hadir untuk merasmikan majlis tersebut turut singgah di lobi Balai Tun Syed Nasir, Wisma DBP untuk menyaksikan taklimat ringkas mengenai portal digital JendelaDBP yang disampaikan oleh Ketua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani Omar dan Ketua Editor Bahagian Multimedia, Puan Naimah Yusof.\nMenerusi taklimat tersebut, Dr. Rosmani menjelaskan bahawa DBP telah membangunkan JendelaDBP, iaitu pusat sehenti untuk kandungan digital DBP. Menerusi paparan utama, JendelaDBP memaparkan berita dan artikel terkini daripada lapan buah majalah yang kandungannya berbeza daripada kandungan majalah bercetak. \nTambahnya lagi, JendelaDBP yang dibangunkan sejak April 2021, berjaya menarik perhatian pelayar dari serata dunia. Sejak Januari 2022 hingga kini, sebanyak 345 152 statistik capaian oleh pelayar direkodkan, malah yang lebih membanggakan, sebanyak 78 buah negara di seluruh dunia telah mengakses JendelaDBP dengan Amerika Syarikat sebagai negara kedua tertinggi yang mengaksesnya. Dalam konteks penerbitan majalah digital, Dewan Sastera misalnya telah diakses oleh lebih 41 000 orang dari pelbagai negara dalam tempoh tersebut.\nSelain majalah, ruangan UjanaDBP dalam JendelaDBP turut memaparkan produk terbitan DBP dalam pelbagai format yang merangkumi buku bercetak dan buku dalam format EPUB, buku audio, majalah bercetak dan majalah dalam format PDF. Di samping itu, TV DBP, dan Radio DBP penstriman turut menampilkan rancangan khusus dalam pelbagai bidang untuk tontonan masyarakat. Antara lain, ruangan Peka Bahasa turut terkandung dalam JendelaDBP yang memaparkan dialek, istilah, ejaan Jawi, komik, mutiara kata, pantun, peribahasa, puisi dan tatabahasa dalam bentuk grafik. Ruangan ini bukan sahaja sesuai untuk masyarakat malahan boleh dijadikan rujukan oleh para pelajar.\nYang turut mengiringi YBhg. Datuk Yusran ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan; Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran dan\u00a0\u00a0Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Tuan Haji Abd Halim Haji Harun." "Pemantapan Bahasa Melayu Memerlukan Perancangan yang Rapi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu dengan kerjasama IPG Kampus Tun Hussein Onn dan IPG Kampus Gaya menganjurkan Kolokium Pemantapan Bahasa Melayu (KOLOPEM BM) dan Pertandingan Inovasi Peringkat Kebangsaan 2022 pada 20 Julai 2022 hingga 21 Julai 2022.\nKOLOPEM BM yang berlangsung selama dua hari ini bertemakan \u201cPemantapan Penyelidikan Bahasa Melayu dan Inovasi Peneraju Kecemerlangan Pendidikan\u201d dan dimulakan dengan ucap utama oleh pakar bahasa, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, yang bertajuk \u201cIsu, Cabaran dan Hala Tuju Pemantapan Bahasa Melayu\u201d.\nMenerusi ucap utamanya, beliau berpendapat bahawa tajuk ini amat penting dan relevan dalam perkembangan bahasa Melayu pada masa ini. Perbincangan ini terbahagi kepada tiga aspek, iaitu pemantapan bahasa Melayu, isu dan cabaran proses pemantapan bahasa Melayu di Malaysia serta hala tuju bahasa Melayu pada abad ke-21.\nMenurut beliau, pemantapan bahasa Melayu dilihat dari dua sudut, iaitu pemantapan bentuk atau binaan bahasa Melayu dan pemantapan penggunaan bahasa Melayu pada masa ini. Pemantapan dari segi bentuk atau binaan bahasa merujuk struktur-struktur yang menjadikan bahasa Melayu suatu bahasa yang tersendiri. Yang paling utama dapat dilihat ialah dari segi kosa kata atau perbendaharaan kata. Hal ini kerana kosa kata merupakan asas bahasa. Penggunaan kosa kata yang tidak sesuai, tidak tepat dan tidak mencukupi akan menyebabkan mesej tidak dapat disampaikan dengan baik.\nProses pemantapan bahasa juga dilihat daripada binaan bahasa itu sendiri. Antaranya termasuklah proses pengimbuhan. Pemantapan bahasa Melayu perlu kerana bahasa Melayu terpinggir semasa zaman penjajah.\nTambah beliau, bahasa Melayu seperti juga bahasa lain dipilih sebagai bahasa utama dan bahasa rasmi bagi menggantikan bahasa penjajah memerlukan perancangan bahasa. Hal ini bagi memantapkan bahasa itu yang tertinggal penggunaannya dari pelbagai aspek semasa zaman penjajahan. Malaysia juga tidak ketinggalan dalam merancang bahasa Melayu untuk memikul tugas baharunya sebagai bahasa rasmi negara melalui Dewan Bahasa dan Pustaka. Bahkan proses perancangan bahasa di negara ini merupakan antara yang terbaik semasa abad ke-20.\nPemantapan penggunaan bahasa juga dilihat pada sistem penyebaran bahasa untuk membolehkan bahasa Melayu tersebar luas penggunaannya. Usaha menyebarluaskan bahasa Melayu bukan sekadar dalam khalayak penutur asalnya semata-mata, bahkan kepada khalayak bukan penutur asal.\nMenurut beliau lagi, bahasa Melayu perlu dimantapkan agar berjaya sebagai bahasa kebangsaan. Pemantapan dari pelbagai aspek seperti bahasa pentadbiran, bahasa ilmu dan sebagainya perlu untuk mengangkat maruah bahasa Melayu. Sememangnya terdapat pelbagai cabaran dalam proses pemantapan bahasa Melayu kerana penggunaan bahasa Melayu bukan sahaja kurang memuaskan dalam kalangan penutur bukan asal, bahkan dalam kalangan penutur bahasa asal itu sendiri. Oleh itu, proses pemantapan memerlukan perancangan yang rapi dan komitmen semua pihak.\nAntara cabaran utama pemantapan bahasa Melayu termasuklah pengaruh bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris lebih dihormati kerana nilai ekonominya yang tinggi. Selain itu, psikologi masyarakat kita yang memandang tinggi akan bahasa Inggeris turut menyebabkan bahasa Melayu semakin sukar dimantapkan. Kepentingan bahasa Inggeris memang diakui tetapi kita tidak boleh mengetepikan terus bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan negara. Masyarakat kita juga tidak mempunyai rasa setia terhadap bahasa dan rasa bangga akan bahasa yang menjadi cabaran kepada pemantapan bahasa Melayu. Cabaran terakhir dalam usaha pemantapan bahasa Melayu ialah globalisasi kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa global tetapi bahasa Melayu bukanlah bahasa global.\nSelain itu, beliau turut menyenaraikan hala tuju bahasa Melayu pada abad ke-21, iaitu bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan yang merangkumi bahasa rasmi, bahasa ilmu, bahasa perhubungan dan sebagainya. Oleh itu, semua pihak harus menerima hakikat tersebut. Beliau juga menyeru pemimpin negara untuk percaya kepada kemampuan bahasa Melayu. Pemantapan bahasa Melayu pada abad ke-21 sememangnya perlu dibantu dan sikap berasa bangga dan setia akan bahasa perlu dipupuk melalui gerakan cintai bahasa dan sebagainya.\nUcap utama ini boleh ditonton secara dalam talian melalui saluran youtube IPG Kampus Bahasa Melayu https://www.youtube.com/c/RasmiIPGKampusBahasaMelayu." "Seluruh Keluarga Malaysia Menjayakan Program Jom Baca Bersama 10 Minit 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Keluarga Malaysia di seluruh negara komited menjayakan Program Jom Baca Bersama 10 Minit 2022 yang berlangsung semalam bermula pada pukul 11.00 pagi hingga pukul 1.10 tengah hari yang turut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Datuk Seri Dr. Santhara J. P. di Perpustakaan Negara Malaysia.\n\nProgram ini dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan,\u00a0 Seni dan Budaya melalui Perpustakaan Negara Malaysia dengan kerjasama Majlis Pengarah-pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM) yang dilangsungkan secara hibrid.\nDatuk Seri Dr. Santhara J. P. berkata,\nSaya percaya peningkatan amalan membaca sama ada membaca buku dalam bentuk fizikal ataupun membaca secara dalam talian ini merupakan petunjuk untuk menjadikan Malaysia ke arah negara maju.\nBeliau turut menyatakan program yang dijalankan serentak di seluruh negara ini mampu meningkatkan minat dan keseronokan membaca, serta dapat memupuk budaya membaca dalam kalangan Keluarga Malaysia.\nTema yang diangkat dalam program tahunan ini ialah \u201cBangkit Baca dan Bersyukur\u201d seiring dengan senario dalam negara yang sedang berada dalam fasa peralihan endemik yang menyeru Keluarga Malaysia untuk kembali bangkit daripada sosioekonomi termasuklah menambahkan ilmu dengan amalan membaca.\nProgram Galakan Membaca ini diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang disambut pada 23 April setiap tahun. Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Ketua Pengarah PNM, Edy Irwan Zulkafli dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Hajah Saraya Arbi.\nMajlis perasmian Jom Baca Bersama 10 Minit 2022 pada kali ini dimeriahkan lagi dengan persembahan puisi daripada budayawan dan karyawan, Dr. Lim Swee Tin, perasmian buku Warisan Manuskrip Melayu Edisi Kedua, penyampaian hadiah kepada pemenang Poster Digital \u201cRakyat Malaysia, Jom Membaca\u201d, nyanyian lagu Budaya Membaca dan Budi Bahasa Budaya Kita, serta sesi ceramah Pantas Baca daripada Pustakawan Kanan Universiti Sains Islam Malaysia, Ahmad Yazid Ahmad @ Abdul Rahman." "Awas, Sindiket Penipuan Guna Nama HASiL\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013 Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) mengingatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan pembelian pesanan yang menggunakan nama pegawai HASiL untuk memperdayakan mangsa.\nSindiket penipuan ini dikesan telah menyamar sebagai pegawai HASiL untuk membuat perolehan dan pembelian aset daripada sebuah syarikat perabot. Mereka juga menyiapkan dua keping kad nama palsu pegawai HASiL agar boleh membuat pesanan perabot yang kononnya bagi tujuan kegunaan di pejabat.\nSindiket ini turut menyediakan Dokumen Pesanan Pembelian palsu yang menyenaraikan butiran jenis perabot yang ingin dipesan lengkap dengan tandatangan palsu \u201cpegawai HASiL\u201d\u00a0sebagai bukti untuk menutupi kegiatan yang tidak bermoral ini.\nHASiL memberi perhatian yang amat serius mengenai isu ini dan meminta orang ramai agar meningkatkan kewaspadaan dengan setiap panggilan, e-mel, surat atau apa-apa jenis dokumen yang meragukan dengan menghubungi HASiL bagi mendapatkan pengesahan sebelum melakukan sebarang transaksi.\nSebarang pertanyaan atau maklum balas berkenaan dengan isu ini boleh dikemukakan kepada HASiL melalui talian 03-89111000 (HASiL Care Line) \u00a0atau 603-89111100 (Luar Negara); HASiL Live Chat; dan borang maklum balas di portal rasmi HASiL." "Tarikh Akhir Kemukakan Borang Nyata Cukai pada 30 April, e-Filing 15 Mei\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013 Bagi mengelakkan penalti atau kenaikan lewat bayar cukai, Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) memaklumkan pembayar cukai untuk mengemukakan Borang Nyata Cukai Tahun Taksiran 2021 (TT 2021) dan membayar cukai pendapatan dalam tempoh yang telah ditetapkan.\nMenurut HASiL, tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata Cukai TT 2021 bagi pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan secara manual adalah pada 30 April, manakala menerusi e-Filing pada 15 Mei 2022.\nPembayar cukai dinasihatkan untuk mengisi maklumat diri dan perbankan yang tepat, serta terkini bagi membantu kelancaran proses bayaran balik cukai (jika ada).\nSetakat 31 Mac 2022, HASiL mengumumkan jumlah keseluruhan penerimaan Borang Nyata Cukai TT 2021 adalah sebanyak 1 163 444.\nBagi memudahkan pemprosesan ini, HASiL telah menyediakan Program Memfail Borang Nyata bagi tahun 2022 dalam versi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang boleh diakses dan dimuat turun menerusi pautan berikut:\n(a) Versi bahasa Melayu: https://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2022_1.pdf\n(b) Versi bahasa Inggeris: https://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2022_2.pdf" "Meraikan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia terus melaksanakan tanggungjawabnya menerusi Dasar Kebudayaan Negara,\u00a0iaitu merujuk kepada teras yang pertama mewujudkan Budaya Nilai Tinggi. Antara pengisiannya adalah untuk menyemarakkan tabiat atau amalan membaca kepada seluruh rakyat Malaysia agar dapat melahirkan insan yang mempunyai budaya tinggi, berilmu dan beradab sopan.\nBersempena dengan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2022 yang berlangsung pada hari ini, Perpustakaan Negara Malaysia dan Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) berkolaborasi mengadakan perkongsian di Selamat Pagi Malaysia yang menampilkan Puan Suhaila Abd. Rahman, Pengarah Perkhidmatan Korporat PNM dan Encik Kamal Kormin, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) MyIPO.\nMenurut Puan Suhaila, program Jom Baca 10 minit yang dianjurkan oleh PNM yang bermula 2014, pada tahun ini masuk kali kesembilan pelaksanaannya pada tahun ini. Program ini turut diraikan serta mendapat kerjasama daripada perpustakaan di seluruh negara,\u00a0termasuklah\u00a0Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri-negeri, perpustakaan di institut pengajian tinggi awam dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan juga perpustakaan-perpustakaan khusus.\nWalaupun hanya 10 minit, masyarakat haruslah memahami konsep yang hendak diterjemahkan oleh PNM dalam memupuk tabiat membaca secara menyeluruh dalam kalangan Keluarga Malaysia. Sekiranya diamalkan secara konsisten, tabiat membaca 10 minit pada setiap hari dalam kalangan rakyat Malaysia, impak daripada budaya ini sudah tentu akan dapat merealisasikan teras satu dalam Dasar Kebudayaan Negara melalui amalan membaca.\nSehubungan dengan itu,\u00a0isu hak cipta amat rapat dengan penghasilan sesebuah karya oleh individu atau kumpulan tertentu sama ada dalam bentuk buku atau medium lainnya, kesedaran umum kepada hak cipta juga antara yang diberikan tumpuan dalam kempen meningkatkan budaya membaca ini. Di samping memperkasa budaya membaca, pihak penerbit atau pengkarya mestilah celik akan undang-undang berkaitan dengan pengkaryaan khususnya berkaitan\u00a0dengan\u00a0hak cipta.\nMengupas isu ini, Encik Kamal Kormin menjelaskan bahawa bagi melindungi hak cipta karya yang dihasilkan, sesebuah karya itu mestilah dizahirkan dalam bentuk material atau bahan karya. Penghasilan sedemikian ini barulah dikategorikan sebagai harta intelek secara automatik ataupun dengan cara pemberitahuan sukarela kepada badan ini untuk didaftarkan sebagai hak kepada pencipta atau pengkarya.\nDengan cara ini, sekiranya berlaku perlanggaran hak cipta kepada sesebuah karya, pendaftaran sebagai harta intelek itu amat penting menjadi bahan bukti di mahkamah. Pelanggaran hak cipta ini merupakan satu aktiviti atau tingkah laku yang dilakukan oleh individu, kumpulan atau organisasi yang menggunakan atau mengguna pakai karya tanpa mendapat persetujuan atau kebenaran daripada pemilik karya. Hal ini dikatakan demikian satu jenayah kerana karya yang telah dilindungi pemiliknya berhak mengambil tindakan mahkamah kepada sesiapa yang melakukan jenayah ke atas karyanya.\nSusulan daripada itu, kedua-dua badan intelektual ini berhasrat agar orang ramai lebih peka serta cakna kepada isu berkaitan hak cipta dan juga menyumbangkan kepada perkembangan yang sihat dalam dunia penerbitan buku di negara ini bagi membekalkan bahan bacaan yang berkualiti dan terpelihara daripada isu plagiat, peniruan, pencerobohan hak cipta dan sebagainya.\nBersempena dengan hasrat melahirkan Budaya Nilai Tinggi yang digagaskan oleh DAKEN, PNM menganjurkan 40 program sepanjang tahun ini,\u00a0antaranya termasuklah Wacana Manuskrip Melayu, Kalam Karyawan, Program Dariku Untukmu, Bicara Penerbit Malaysia, Persidangan/Pameran Antarabangsa Manuskrip Melayu, Program Semarak Merdeka Sempena Hari Kebangsaan, Program Semarak Bahasa bersempena dengan Bulan Bahasa, Program Bicara Intelektual khusus untuk perkongsian literasi kepada seluruh rakyat, Persidangan Literasi Media dan Maklumat, Uji Jawi secara dalam Talian dan Eksplorasi Digital.\nMenerusi Program Semarak Membaca pada tahun ini, baucar buku bernilai RM10 berjumlah RM2 juta dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Malaysia untuk membeli bahan bacaan khususnya untuk menyemarakkan kembali pembelian buku yang dua tahun kebelakangan ini terjejas akibat pandemik COVID-19. Orang ramai boleh menebus baucar diskaun RM10 mulai 1 April hingga 31 Ogos 2022 di 371 buah kedai buku seluruh negara termasuk kedai buku dalam talian yang terpilih.\nMaklumat berkaitan dengan Program Semarak Membaca\u00a0boleh dicapai melalui laman portal PNM atau portal u-Pustaka, dan baucar buku melalui laman portal BBSM." "Permohonan dan Bayaran Penyeteman Dokumen Individu Secara dalam Talian Sepenuhnya Mulai 27 April 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan bahawa penyeteman perjanjian dokumen individu boleh dikemukakan melalui portal Stamp Assessment and Payment System (STAMPS) secara dalam talian sepenuhnya mulai 27 April 2022.\nIndividu warganegara dan penduduk tetap yang mempunyai Nombor Cukai Pendapatan boleh membuat pendaftaran ID Pengguna STAMPS, permohonan taksiran dan bayaran duti setem secara dalam talian melalui portal STAMPS di pautan https://stamps.hasil.gov.my tanpa perlu hadir ke kaunter duti setem. Sijil Setem perlu dimuat turun dan dicetak setelah bayaran berjaya dilakukan untuk dikepilkan kepada perjanjian asal sebagai bukti duti setem telah dibayar.\nIndividu warganegara dan penduduk tetap yang tidak mempunyai Nombor Cukai Pendapatan serta individu selain warganegara dan bukan penduduk tetap perlu hadir ke mana-mana kaunter duti setem setelah mengisi maklumat penyeteman di portal STAMPS di bawah pilihan Penyeteman Dokumen Peribadi di Kaunter.\nPendaftaran Nombor Cukai Pendapatan individu boleh dibuat melalui e-Daftar di pautan https://edaftar.hasil.gov.my.\nSebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara ini boleh dikemukakan kepada HASiL melalui:\n(a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);\n(b) HASiL Live Chat;\n(c) E-mel kepada [email\u00a0protected]; dan\n(d) Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas\nhttps://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/." "Suburkan Jiwa Generasi Cintakan Ilmu \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 \u201cCOVID-19 telah mengubah landskap kehidupan di seluruh dunia. \u00a0Setelah dua tahun mengharungi dugaan ini, tiba masanya untuk masyarakat bangkit menjadikan keadaan lebih baik. Kita perlu menambah nilai dalam diri kita, terutamanya ilmu pengetahuan.\u201d\nBudaya membaca perlu terus subur dan hidup dalam jiwa masyarakat. Membaca akan melahirkan masyarakat generasi muda yang mencintai ilmu, berakhlak mulia, mentaati agama dan berkemahiran yang tinggi. Dengan membaca juga, minda kita menjadi lebih tenang dan dapat berfikir dengan lebih baik.\nTitah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam satu hebahan media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis selepas berkenan berangkat menghadiri aktiviti kayuhan berbasikal sempena \u201cHari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2022\u201d peringkat Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), YTSP Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).\nHari Buku dan Hak Cipta Sedunia merupakan satu acara tahunan yang disambut pada setiap 23 April seperti yang ditetapkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).\nMatlamatnya adalah untuk menggalakkan minat membaca, penerbitan dan hak cipta. Sambutan program ini mula disambut pertama kalinya pada 23 April 1995, iaitu 27 tahun yang lalu.\nDalam majlis tersebut, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, Azizi Janan menyeru masyarakat untuk terus menjadikan perpustakaan sebagai tempat riadah minda, yakni menyediakan pelbagai pilihan bahan bacaan bercetak dan kandungan subjek yang berbeza untuk dimanfaatkan oleh pembaca.\n\u201cApabila seseorang itu berada di perpustakaan, maka ilmu pengetahuan dapat diterokai seolah-olah berada di serata pelusuk dunia.\n\u201cLebih 52 juta bahan bacaan seperti e-buku, e-majalah dan e-suratkhabar serta e-pembelajaran juga boleh diakses secara percuma dihujung jari anda. Kandungan digital ini akan sentiasa ditambah dari masa ke masa,\u201d ujar Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis mengatakan bahan bacaan tidak terhad kepada bahan fizikal sahaja, tetapi dapat dicapai menerusi laman portal u-Pustaka.\nBeliau turut mengajak masyarakat di negeri Perlis supaya segera mendaftar sebagai ahli u-Pustaka dan terokailah dunia maklumat tanpa sempadan.\nPada masa yang sama, program ini dilakukan secara serentak dengan aktiviti \u201cKayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Bilangan ke 31 bagi tahun 2022\u201d. Sebanyak RM700 diterima oleh Nurulanis Abd Rahman, Jafri Talib dan Saad Mat daripada keluarga asnaf, serta sekotak bahan makanan mentah \u201cKit MAIPs Peduli\u201d dan juga satu pek beras daripada pihak MAIPs disumbangkan kepada mereka sempena aktiviti tersebut." "Selamat Hari Geosaintis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSambutan Hari Geosaintis jatuh pada hari Ahad minggu pertama April setiap tahun. Namun begitu, \u00a0adakah kita mengenali siapakah geosaintis? Apakah peranan mereka?\u00a0 Mungkin juga ada yang tidak perasan dengan sumbangan yang dicurahkan oleh golongan yang turut dikenali sebagai ahli geologi atau kaji bumi ketika negara kita berhadapan dengan pelbagai ujian alam seperti tanah runtuh, banjir, kemarau malah kelembapan sektor pelancongan. Bersempena dengan hari yang disambut ini, penulisan ini tertumpu pada peranan ahli geologi agar kerjaya ini terus dihargai oleh semua pihak.\nKelibat ahli geologi kebiasaannya jarang-jarang disedari oleh orang ramai. Ketika berlaku bencana tebing bukit batu kapur yang runtuh baru-baru ini di Simpang Pulai, anggota bomba dan penyelamat bekerjasama dengan pakar bidang geologi seperti ahli geofizik dan geobencana dalam usaha membantu mencari mangsa yang tertimbus. Gelongsor tanah di kawasan Ampang juga telah menggemparkan kita sekitar Mac 2022. Dua contoh tersebut merupakan kejadian yang memerlukan penglibatan ahli geologi untuk membantu operasi menyelamat dan menilai tahap kestabilan cerun yang secara zahir kelihatan masih utuh dan belum pun mahu runtuh.\nPada Mac yang lalu juga kita menyambut Hari Air Sedunia. Semasa musim kemarau dan ditambah pula dengan masalah jerebu yang teruk, khidmat ahli geologi ini sememangnya ditagih. Golongan petani dan pekebun sudah tentu keresahan kerana bendang menjadi kering dan tanaman pula mati kelayuan. Kebakaran hutan terutamanya di kawasan gambut menjadi cabaran utama semasa musim kemarau. Pakar hidrogeologi dan \u201cbomoh air\u201d (geofizik penjelajahan) akan dipanggil untuk membantu menangani masalah tersebut. Kawasan yang berpotensi adanya air bawah tanah seperti dalam retakan batuan masih belum banyak diterokai untuk menampung bekalan air di permukaan yang kering semasa kemarau. Isu pencemaran air permukaan seperti loji rawatan air yang mungkin disabotaj atau wujud tangan-tangan ghaib yang tidak mahu mematuhi undang-undang negara dalam operasi kilang berhampiran sungai sering menghantui kita dalam isu perbekalan air yang selamat untuk digunakan. Ahli geologi boleh memainkan peranan penting bagi mendapatkan sumber baharu air bawah tanah bagi kawasan yang strategik supaya dapat memenuhi keperluan masyarakat yang mendiami kawasan dengan kepadatan penduduk seperti Pulai Pinang. Maka, tidak hairanlah jika masalah perbekalan air yang tidak dirancang dengan betul, menyebabkan negeri-negeri lain juga akan turut terkesan pada masa akan datang.\nDalam sektor pertanian juga, pelibatan ahli kaji bumi mampu merancakkan lagi hasil penanaman buah-buahan komersial seperti mangga Harum Manis dan durian Musang King. Mungkin sebelum ini hanya tanah di Perlis yang sesuai ditanam mangga Harum Manis. Mungkin juga penelitian tanah serupa di tempat lain boleh menjana pendapatan masyarakat melalui kerjasama Jabatan Pertanian. Begitu juga dengan kesuburan tanah untuk durian Musang King. Jenis-jenis tanah yang ada boleh dinilai oleh pakar tanah untuk kesesuaian mengikut jenis tanaman.\nSelain itu, ahli geologi juga terlibat dalam penyediaan tapak binaan, jajaran baharu jalan raya, landasan kereta api, serta projek-projek mega seperti empangan dan terowong. Sebagai contoh, projek lebuh raya memerlukan input atau pandangan ahli geologi supaya pembinaan dapat dilakukan dengan baik bagi mengelakkan bencana seperti runtuhan cerun potongan bukit, pendasaran tidak mendap atau ditelan bumi serta tiang yang dipasak dipastikan berada pada batuan yang utuh. Penilaian kestabilan terowong seperti terowong jana kuasa hidro amat penting dilakukan bagi mengelak daripada berlakunya kegagalan pihak berkenaan membekalkan tenaga elektrik. Terdapat juga terowong yang digunakan untuk tapak pelancongan seperti terowong Sungai Lembing yang perlu dinilai oleh ahli kaji bumi dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan para pengunjung terjamin. Pembinaan lapangan terbang juga amat memerlukan pandangan daripada ahli geologi. Pernah suatu ketika dahulu, kita digemparkan dengan masalah mendapan di kawasan lapangan terbang yang didasari oleh batu kapur.\nSektor pelancongan negara juga memerlukan maklumat geologi. Contoh yang tidak asing lagi termasuklah pembangunan sesebuah geopark. Malaysia kini memiliki geopark bertaraf global, iaitu di Pulau Langkawi dan beberapa tempat lain pula berstatus kebangsaan seperti Geopark Lembah Kinta, Geopark Jerai dan Gunung Kinabalu. Buah tangan ahli geologi telah menjadikan tapak-tapak yang menarik seperti pembentukan gua dan struktur batuan unik dapat dikenali dan dihayati oleh masyarakat tempatan dan antarabangsa. Tanpa kepakaran ahli geologi, keunikan sesuatu tempat agak sukar untuk diceritakan. Jalinan pelbagai bidang menambahkan lagi maklumat saintifik dan kebolehpasaran sesuatu tempat dalam sesebuah tapak dalam industri geopelancongan.\nSektor kuari dan lombong juga melibatkan khidmat geosaintis. Mana tidaknya, jika tebing kuari tidak selamat, pegawai bidang inilah yang perlu menasihati pengurusan syarikat supaya keselamatan pekerja terjaga dan operasi harian dapat diteruskan. Bicara tentang sumber mineral nadir bumi (REE) juga perlu melibatkan ahli geologi. Peranan mereka dalam menentukan zon kaya mineral tersebut dalam tanah mahupun batuan membolehkan pengusaha mineral tersebut mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk dilombong. Selain itu, banyak lagi sumber mineral dan batuan yang berguna untuk diusahakan. Emas di Malaysia terutamanya di kawasan Raub dan Kuala Lipis sudah sekian lama dipetakan oleh ahli geologi untuk dilombong. Sejarah Lembah Kinta yang terkenal dengan bijih timah juga memerlukan orang yang arif dengan ilmu kaji bumi dalam mencari jalur pembentukan mineral tersebut.\nBegitulah antara peranan ahli geologi dalam kehidupan kita. Sempena Hari Geosaintis yang disambut ini, penulis juga ingin menarik perhatian pembaca untuk mengenali dengan lebih lanjut tentang bidang dan kerjaya sebagai ahli geologi. Melalui carian Persatuan Geologi Malaysia, Institut Geologi Malaysia dan Lembaga Ahli Geologi, pembaca boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang siapa itu ahli geologi. Pada peringkat universiti pula, pembelajaran rasmi bidang geologi boleh diterokai di universiti seperti Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi PETRONAS (fokus dalam bidang minyak dan gas), Universiti Sains Malaysia (fokus dalam bidang geofizik), Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Malaysia Terengganu (fokus dalam geologi marin) dan Universiti Malaysia Sabah.\nSebagai penutup, penulis ingin lontarkan persoalan berikut. Apabila dewasa kelak, mahu jadi geosaintiskah? Mahu mencari fosil dinosaur? Mahu jadi pakar gempa bumi? Arif tentang letusan volkano? Jom, sertailah kerjaya sebagai ahli geologi!\n\u00a0\nDr. Mohd Hariri Arifin, Ketua Kluster Geologi Kejuruteraan dan Bencana Geologi, Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia." "PLUS Saran Pengguna Lebuh Raya Patuhi TTA, Elak Kesesakan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Plus Malaysia Berhad (PLUS) menyarankan pengguna lebuh raya untuk mematuhi Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) Balik Kampung dan Pulang ke Bandar yang telah disediakan sepanjang musim perayaan Aidilfitri akan datang untuk mengelakkan kesesakan trafik yang lebih panjang.\nTTA yang direka berdasarkan pola perjalanan trafik musim perayaan dan cuti sekolah yang lalu sebagai panduan ini bertujuan untuk membantu pengguna lebuh raya melalui perjalanan sebaik mungkin dan mengurangkan kesesakan dengan mengagihkan trafik daripada memasuki kawasan lebuh raya secara serentak.\nMenurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, penggunaan lebuh raya PLUS dijangka akan meningkat sebanyak 25 peratus iaitu dua juta buah kenderaan berbanding dengan 1.6 juta buah kenderaan sehari sepanjang tempoh perayaan nanti memandangkan perjalanan kali ini adalah yang pertama sejak dua tahun perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.\nSila jangkakan kesesakan dan mungkin memanjangkan tempoh perjalanan anda. Jadi, kami menggesa dan menasihatkan pelanggan lebuh raya untuk mematuhi jadual perjalanan TTA yang dikeluarkan bagi merancang perjalanan balik kampung dan pulang ke bandar.\nBermula 29 April hingga 2 Mei 2022, pengguna lebuh raya yang akan keluar dari Lembah Klang ke destinasi yang lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang (Utara) dan Johor, waktu TTA yang dicadangkan adalah sebelum pukul 10.00 pagi. Sementara itu, bagi pengguna yang menuju ke destinasi yang lebih dekat atau ke negeri-negeri lain, disarankan untuk memasuki lebuh raya selepas pukul 1.00 petang.\nBagi perjalanan pulang ke Lembah Klang yang dijangka bermula pada 5 hingga 9 Mei 2022, cadangan waktu untuk memulakan perjalanan ialah sebelum pukul 9.00 pagi bagi mengelakkan kesesakan yang dijangka akan menjadi dua ganda lebih panjang daripada tempoh kebiasaan.\nPengguna lebuh raya PLUS boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan trafik terkini melalui Twitter @PLUSTrafik, aplikasi PLUS, talian PLUSLine (1800-88-0000), Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara." "Menteri Kanan Pendidikan Meraikan Pengamal Media\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Menteri Kanan Pendidikan Malaysia, YB Datuk Dr. Radzi Jidin menyantuni pengamal media dalam Majlis Ihya Ramadan petang ini bertempat di Hotel Palm Garden, Putrajaya.\nMenurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), majlis ini merupakan satu daripada platform KPM untuk terus mengeratkan lagi hubungan antara kementerian dengan agensi media. \nSelain menghayati nilai murni pada bulan suci Ramadan, majlis ini diadakan sebagai tanda terima kasih daripada pihak KPM atas liputan media menyampaikan dasar kementerian, khususnya berkenaan dengan pengoperasian sekolah dan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) pada era penularan pandemik COVID-19.\n\nDalam tempoh dua tahun ini, fokus utama KPM adalah tertumpu pada perkara yang berstruktur serta memberikan impak yang besar dalam sistem pendidikan negara.\n\u201cSebagai contoh, KPM mengambil pendekatan menyelesaikan isu kekurangan guru melalui pengambilan guru sekali beri secara besar-besaran, iaitu sebanyak 18 702 orang,\u201d kata YB Datuk Dr. Radzi.\nSelain itu, YB Datuk Dr. Radzi turut mengulas isu beg berat dalam kalangan pelajar.\n\u201cIsu beg berat ini bukan satu masalah yang baharu, tetapi sudah berlaku sekian lamanya. Antara perkara utama yang dikenal pasti, adalah jumlah mata pelajaran yang banyak dalam satu hari,\u201d ujar beliau. \nOleh itu, KPM mengambil inisiatif untuk mengurangkan mata pelajaran daripada tujuh kepada tiga atau empat subjek sahaja dalam satu hari.\nMajlis tersebut dihadiri oleh kira-kira 200 tetamu daripada pelbagai agensi media, antaranya ialah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro Awani, Al Hijrah, Media Prima, The New Straits Times Press (NSTP) dan The Star.\nTurut hadir ialah warga KPM dan ketua agensi media." "MyCC Lancar Rundingan Awam, Pinda Akta Persaingan 2010 dalam Talian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memulakan proses pindaan Akta Persaingan 2010 dan melancarkan rundingan awam secara dalam talian semalam.\nRundingan ini sekali gus mengundang orang ramai dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk mengambil bahagian terhadap cadangan pindaan tersebut dengan memberikan pendapat, pandangan, input dan maklum balas.\nMenurut MyCC, pindaan ini bertujuan untuk menjadikan undang-undang persaingan di Malaysia lebih komprehensif dan selaras dengan amalan antarabangsa.\nPindaan Akta Persaingan 2010 ini termasuklah pindaan peruntukan berkaitan dengan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan serta peruntukan rayuan, dengan mengambil kira perkembangan ekonomi digital dan pengenalan rejim kawalan penggabungan.\nKetua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail dalam satu kenyataan berkata,\nProses pindaan ini telah bermula sejak tahun 2019, tetapi tertangguh akibat pandemik COVID-19. Kami berharap pindaan ini akan mengukuhkan mandat MyCC dalam melindungi persaingan dalam pasaran dengan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan yang efektif.\nTambah beliau, MyCC diberikan mandat untuk menilai penggabungan yang akan mengurangkan atau mengganggu persaingan dalam pasaran dengan ketara dan berharap agar pindaan ini dapat diluluskan di Parlimen pada hujung tahun ini memandangkan Malaysia merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang masih belum memiliki rejim kawalan penggabungan.\nOrang ramai boleh mendapatkan salinan pindaan tersebut melalui laman rasmi MyCC dan portal Malaysia Productivity Corporation Unified Public Consultation (UPC) mulai 25 April 2022.\nSebarang input dan maklum balas berkenaan pindaan ini boleh dikemukakan menerusi e-mel MyCC atau portal UPC sebelum 27 Mei 2022." "Bahasa Kasar Tidak Mencerminkan Norma Masyarakat Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMasyarakat Malaysia terutamanya orang Melayu sangat terkenal dengan kesantunan dan budi bahasanya. Namun begitu, sikap tersebut semakin hilang ditelan arus kemodenan pada masa ini. Bahasa kasar dilihat semakin meluas penggunaannya dalam kehidupan masyarakat terutamanya dalam kalangan anak muda. Buktinya, kata-kata kesat sangat mudah dilihat dalam setiap hantaran di laman media sosial masyarakat pada hari ini tanpa mengira peringkat umur dan latar belakang.\nJika dahulu, anak kecil yang berbahasa kasar sudah pasti dicili-cilikan mulutnya kerana norma masyarakat Malaysia terutamanya orang Melayu pada masa tersebut yang sangat mementingkan aspek kesopanan dan kesantunan dalam berkomunikasi. Namun begitu, situasi pada hari ini adalah sebaliknya. Masyarakat tidak malu dan teragak-agak untuk menggunakan bahasa kasar ketika berkomunikasi sama ada secara bersemuka atau tidak di laman media sosial masing-masing.\nMenurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bahasa kasar bermaksud bahasa yang tidak sopan atau tidak manis dituturkan atau digunakan. Bahasa kasar tidak mementingkan kesantunan dan kesopanan dalam proses berbahasa. Amnya, bahasa kasar ialah bahasa yang digunakan dalam percakapan atau tulisan yang boleh menyakitkan hati seseorang yang mendengar atau membacanya.\nPerkataan yang digunakan juga tidak dipilih secara berhati-hati berbanding dengan bahasa halus. Bahasa kasar selalunya dikaitkan dengan pemilihan dan penggunaan bahasa yang tidak sesuai dengan keadaan dan tempat sehingga menimbulkan perasaan kurang senang pihak yang mendengar atau membacanya.\nBahasa kasar juga selalu dikaitkan dengan bahasa kesat, iaitu bahasa yang digunakan di luar lingkungan frasa yang biasa digunakan. Penutur atau penulisnya selalu dianggap sebagai orang yang mempunyai tahap pendidikan yang rendah dan tidak tahu berbahasa. Antara contoh perkataan bahasa kasar termasuklah bodoh, gila dan celaka.\ndan rendah.\n\u00a0\nJika bahasa halus merujuk kesantunan berbahasa, bahasa kasar pula merujuk ketidaksantunan berbahasa. Ketidaksantunan berbahasa mampu menimbulkan konflik dalam sesebuah komunikasi yang dibina. Culpeper merujuk kajian Zaitul Azma dan rakan-rakan yang bertajuk \u201cPenggunaan Strategi Ketidaksantunan dalam Kalangan Remaja di Sekolah\u201d yang mendefinisikan ketidaksantunan sebagai strategi yang dirancang. Bahkan, beliau telah menggariskan beberapa elemen yang boleh menyebabkan perlakuan pertuturan tersebut menjadi tidak santun dalam Model Ketidaksantunan yang dikemukakannya. Elemen tersebut adalah seperti yang berikut:\nCulpeper turut membangunkan lima strategi ketidaksantunan yang menguatkan lagi Model Ketidaksantunan. Lima strategi tersebut ialah seperti yang berikut:\nAwang Sariyan dalam bukunya yang bertajuk Santun Berbahasa pula menyatakan bahawa kaum Melayu amat terkenal dengan sistem nilai yang bertunjangkan kesopanan dan kesantunan baik dalam aspek lisan, tulisan mahupun perbuatan. Keunikan ini berkait rapat dengan ajaran Islam kerana hubungan antara kedua-duanya telah terikat kemas.\nIslam juga sentiasa menganjurkan umatnya untuk menggunakan kata-kata yang baik sama ada dalam pertuturan mahupun penulisan. Antara ayat-ayat al-Quran yang menyarankan penggunaan dan pemilihan bahasa yang baik dan sesuai adalah seperti dalam surah\u00a0 al-Israa\u2019, ayat 53 yang bermaksud \u201c.dan katakanlah kepada hamba-Ku, hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang baik.\u201d dan surah al-Baqarah, ayat 83 yang bermaksud \u201c.dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia\u201d. Penggunaan perkataan yang baik menggambarkan kemuliaan peribadi seseorang dan mampu menimbulkan kemesraan kepada sesiapa yang mendengarnya.\nSebagai sebuah negara yang kebanyakan penduduknya berketurunan Melayu dan beragama Islam amatlah menyedihkan apabila bahasa kasar digunakan dalam pelbagai situasi seperti dalam filem, drama televisyen mahupun pergaulan seharian masyarakat termasuklah ketika berkomunikasi di laman media sosial masing-masing.\nSeperti yang kita maklum, bahasa kasar dan perkataan yang menyakitkan hati dilarang dalam Islam atau mana-mana agama sekalipun. Jika berada di tempat awam ataupun sedang menikmati hidangan di kedai makan umpamanya, kita boleh mendengar anak-anak muda bergurau sesama mereka dengan mengucapkan perkataan seperti bodoh, sial, babi, mampus, anjing, sundal dan sebagainya tanpa malu atau risau didengari oleh orang lain. Bahkan, anak muda beranggapan bahawa perbuatan mereka tersebut tidak salah dan sekadar bergurau mesra bersama-sama rakan masing-masing.\nMenurut Hariyati Ariffin, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam dalam kajian rambangnya berkaitan dengan isu bahasa kasar mendapati bahawa penggunaan bahasa kasar dan tidak beradab ialah sesuatu yang tidak baik untuk dipraktikkan. Walau bagaimanapun, responden yang ditemu bual berpendapat bahawa bahasa kasar tersebut hanya digunakan dalam kalangan kawan-kawan dan sebagai satu bentuk gurauan yang merapatkan hubungan persahabatan antara mereka.\nKebanyakan golongan muda berbahasa kasar disebabkan oleh pengaruh di sekeliling mereka. Contohnya, ada ibu bapa yang menggunakan kata-kata yang kurang sopan dan mencarut di hadapan anak-anak walaupun perbuatan tersebut bukan ditujukan kepada anak-anak mereka dan sebaliknya kepada rakan-rakan mereka. Namun begitu, anak-anak tersebut yang mendengar akan mudah terikut-ikut perbuatan tersebut.\nPada zaman \u201clangit terbuka\u201c ini, bahasa kasar amat mudah dilihat terutamanya di media sosial. Walaupun media sosial seseorang ialah laman peribadi, setiap komunikasi di laman tersebut memerlukan unsur kesopanan dan kesantunan. Hal ini demikian kerana setiap hantaran dan komen dalam media sosial boleh diakses oleh sesiapa sahaja di seluruh dunia. Oleh itu, sebagai seorang warganegara Malaysia, kita perlu sentiasa menjaga penggunaan bahasa di media sosial masing-masing yang merupakan satu medium terbuka yang menggambarkan sifat dan sikap masyarakat.\nTuntasnya, penggunaan bahasa kasar yang semakin meluas dalam kalangan masyarakat wajar dirisaukan. Penggunaan bahasa kasar bertentangan dengan cerminan dan norma masyarakat Melayu yang terkenal dengan sikap lemah-lembut dan bersopan santun baik dari segi perbuatan dan percakapannya. Nenek moyang kita dahulu sangat halus bahasanya dan menggunakan bahasa yang berlapis dan berlapik semasa berkomunikasi antara satu sama lain. Setiap kata yang keluar dari mulut dipastikan tidak menyakiti hati orang yang mendengarnya.\nPenggunaan bahasa kasar bukan sahaja boleh menimbulkan permusuhan, bahkan memberikan imej yang kurang baik kepada penuturnya. Sewajarnya, setiap ahli masyarakat terutama ibu bapa perlulah memastikan penggunaan bahasa kasar yang semakin leluasa kini tidak diwarisi dan menjadi sebati dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Ayuh, bersama-samalah kita patuh kepada prinsip Rukun Negara yang kelima, iaitu kesopanan dan kesusilaan kerana bahasa menunjukkan bangsa!" "MPP UPNM Berkongsi Rezeki\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur- Yang Dipertua MPP Universiti Petahanan Nasional Malaysia (UPNM), Saudara Mohamad Mifzal Mohamad [email\u00a0protected], menjelaskan Program Jelajah SKS Menyemarakkan Semangat #UPNMPrihatin dilaksanakan bertujuan untuk mendekatkan mahasiswa bersama-sama masyarakat bagi menyantuni komuniti yang memerlukan melalui program berkongsi rezeki supaya dapat meringankan beban mereka.\nMelalui program ini, potensi kepemimpinan diri seperti aspek komunikasi, penyelesaian masalah, bekerjasama serta saling membantu dan bertindak segera menghulurkan pertolongan kepada yang memerlukan dapat diserlahkan, selain mampu membentuk sahsiah mahasiswa supaya bersikap prihatin kepada komuniti dan dapat mengalami sendiri keberkesanan program khidmat masyarakat yang dilaksanakan ini.\n\u201cMahasiswa juga mampu meningkatkan kemahiran berkomunikasi, berfikir di luar kotak, bersifat prihatin dan kasih sayang sesama insan, \u201cjelas beliau. Menurutnya, pendedahan berkaitan dengan tanggungjawab fungsi dan peranan sebagai mahasiswa, anggota komuniti dan masyarakat juga dapat diperkukuh. Bersempena dengan Ramadan yang mulia dan amat bermakna ini, pelbagai program diatur dalam usaha memperkukuh serta menyuburkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa, agama dan kepercayaan di negara ini.\nProgram anjuran MPP UPNM ini akan diketengahkan sebagai Ikon UPNM dalam Program Jelajah SKS yang diadakan secara bersiri sebagai usaha mengukuhkan agenda perpaduan dengan mendekati masyarakat. Rangka Tindakan Kesejahteraan Pendidikan Tinggi atau Sejahtera IPT bagi tahun 2022 dengan mengangkat dua teras daripada Sejahtera IPT, iaitu Memacu Kesejahteraan Komuniti dan Menyemarakkan Semangat #KPTPrihatin. Program Jelajah SKS akan diadakan secara bersiri dengan tema Menyemarakkan Semangat #UPNMPrihatin bertujuan untuk menyantuni komuniti dengan meringankan beban masyarakat yang terkesan selepas Pandemik COVID-19.\nMenurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPNM, Profesor. Ts. Dr. Muhd Zu Azhan Yahya, MPP sebagai Ikon UPNM menjadi tunjang utama dalam menjayakan Program SKS ini. Program ini akan diadakan secara berterusan sebagai usaha untuk membentuk mahasiswa secara holistik yang sentiasa peka dan prihatin dalam membantu nasib masyarakat yang memerlukan bantuan. \u201cMelalui program sebegini, mereka memperoleh pengalaman sebenar dalam kemahiran berkomunikasi, berfikir di luar kotak, selain dapat memupuk sikap prihatin dan kasih sayang,\u201d jelas beliau.\n\nEmpat keluarga telah menerima sumbangan, iaitu Encik Abdul Aziz Suman dari Kampung Dacing Hilir, Lenggeng, Negeri Sembilan, Puan Wan Rosnani Wan Mahmud dan keluarga dari Kampung Sri Gemas, Tampin, Negeri Sembilan. Encik Sabri Alang dan keluarga dari Kampung Hulu Kemensah, Ampang Jaya, Selangor, serta Encik Muhammad Ridwan Tee Abdullah dan keluarga dari Kampung \u00a0Kelang Makau, Sungai Petani, Kedah.\n\nBentuk sumbangan adalah berupa barangan keperluan asas dan wang tunai bagi persediaan untuk menyambut hari raya yang bakal tiba tidak lama lagi. Sumbangan tersebut diperoleh hasil daripada sumbangan warga UPNM yang sentiasa menyokong program sebegini dan juga daripada agensi luar. Pergerakan penghantaran sumbangan telah dibuat pada 23 dan 24 April 2022 bagi Kedah, Kuala Lumpur, dan Negeri Sembilan yang diketuai oleh barisan MPP UPNM dan turut disertai wakil daripada PERNAMA dan juga UPNM Holdings Sdn. Bhd. yang merupakan penyumbang utama dana sumbangan.\nUPNM sentiasa prihatin kepada komuniti dalam mengembangkan potensi kepemimpinan pelajar supaya dapat menyerlahkan lagi potensi diri mereka." "Larang Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti di Jalan Raya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSebelum ini, heboh sekali lagi dalam media sosial berkenaan kes kemalangan yang meragut lapan nyawa geng basikal lajak akibat dilanggar sebuah kereta.\nDifahamkan, pemandu berkenaan juga telah dikenakan hukuman atas kesalahan sehingga mengakibatkan kematian.\nNamun begitu, ramai yang tidak berpuas hati kerana hukuman tersebut wajar diberikan kepada ibu bapa atas dasar membiarkan anak berada keluar pada waktu tengah malam.\nWalau bagaimanapun, kes yang terjadi itu tidak dijadikan pengajaran buat segelintir masyarakat.\nBahkan, sejak kebelakangan ini kenderaan mikromobiliti banyak digunakan di atas jalan raya yang bukan sahaja membahayakan pengguna kenderaan itu, tetapi membahayakan kepada pengguna jalan raya yang lain.\nMerujuk siaran media Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), jenis kenderaan mikromobiliti, termasuklah basikal berenjin (moped), skuter elektrik, skuter yang telah diubahsuai dan basikal.\n\u201cPenggunaan kenderaan itu dengan aliran trafik kenderaan motor lain di atas jalan raya akan menimbulkan risiko berlakunya tragedi yang sama dengan nahas basikal lajak itu,\u201d Menteri Pengangkutan, YB Datuk Seri Wee Ka Siong.\nDalam pada itu, MOT turut memaklumkan jenis penggunaan kenderaan mikromobiliti tertentu akan dilarang di atas jalan raya menerusi pewartaan Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021 (\u201cKaedah\u201d) berkuat kuasa mulai 17 Disember 2021.\n\u201cAntara kenderaan mikromobiliti yang dilarang ialah basikal berenjin, skuter berkuasa elektrik, kuasa enjin pembakaran dalaman ataupun kuasa manusia serta Personal Mobiliti Aids (PMA),\u201d katanya.\n\u201cWalaupun penggunaan basikal tidak dilarang, tetapi perlu mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] di bawah Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.\n\u201cGaris panduan penggunaan basikal dengan selamat juga telah dikeluarkan oleh MIROS dan boleh dimuat turun melalui laman web MOT dan MIROS,\u201d ujar MOT lagi.\nSementara itu, basikal elektrik yang memenuhi spesifikasi Malaysia Standard sahaja dibenarkan untuk digunakan atas jalan raya dengan\u00a0 mematuhi peraturan yang sama seperti penggunaan basikal.\n\u201cBagi membezakan basikal elektrik dengan moped, kenderaan ini tidak ada pendikit (throttle) dan mempunyai pedal bagi kayuhan yang dipasang secara kekal di badan kenderaan,\u201d katanya lagi.\nDalam siaran media yang sama, MOT menyeru semua pihak berkuasa termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk bersama-sama mengawal selia penggunaan kenderaan mikromobiliti dalam kawasan tadbir masing-masing.\n\u201cSelain itu, pihak berkenaan boleh juga membangunkan infrastruktur jalan khusus yang menyokong penggunaan kenderaan mikromobiliti yang selamat, serta tidak bercampur dengan aliran trafik yang ada.\n\u201cDemi keselamatan pengguna jalan raya yang lain, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menguatkuasakan perintah larangan ini,\u201d kata MOT.\nMOT turut menasihatkan orang ramai mematuhi semua larangan dan peraturan jalan raya demi kebaikan diri sendiri, keluarga dan masyarakat." "OP Selamat 18 Tumpu kepada\u00a0Aspek Melancarkan Aliran Trafik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut pada 3 Mei 2022 kelak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil insiatif untuk melancarkan aliran trafik dengan melancarkan OP Selamat 18.\nOperasi tersebut diumumkan dalam satu kenyataan media oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani pada 27 April 2022. OP Selamat 18 dilancarkan bagi memastikan pengguna jalan raya selamat tiba di destinasi di musim perayaan, selain menurunkan kadar jenayah pecah rumah, meminimumkan kes kemalangan dan memastikan harta benda dan premis berada dalam keadaan selamat semasa ketiadaan penghuni.\nBagi mengoptimumkan kejayaan operasi ini, PDRM melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melaksanakan OP lancar di lebuh raya yang dijangka akan berlaku kesesakan lalu lintas disebabkan oleh pergerakan orang ramai pulang ke kampung halaman dan kembali semula setelah berakhir tempoh cuti kelak.\nJentera PDRM yang terdiri daripada anggota balai dan elemen kereta peronda (MPV), unit rondaan bermotosikal (URB) serta rondaan bit akan diatur gerak secara holistik dan sistematik bagi memastikan trafik di lebuh raya, jalan-jalan negeri serta perbandaran berjalan lancar.\nPihak PDRM memohon kerjasama semua pengguna jalan raya untuk mengikuti perkembangan trafik di media sosial rasmi JSPT dan sentiasa peka dengan informasi terkini dalam merancang perjalanan mereka bagi mengelakkan tempoh pemanduan yang panjang dan memenatkan.\nPengguna jalan raya juga dinasihatkan untuk memandu dengan berhemah dan tidak melanggar segala peraturan lalu lintas, seperti memotong barisan secara berbahaya, menyalahguna lorong kecemasan atau meninggalkan kenderaan sehingga menghalang laluan pemandu lain.\nDalam memastikan operasi ini meliputi setiap lebuh raya yang dilalui oleh para pengguna, PDRM mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan kesalahan trafik kepada pihak JSPT melalui rakaman video atau gambar agar tindakan sewajarnya dapat diambil kepada pengguna jalan raya yang melanggar peraturan lalu lintas.\nDalam kenyataan yang sama, Ketua Polis Negara turut berkata, pelancaran OP Selamat 18 ini membuktikan PDRM terus komited dalam memastikan orang ramai dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana kekeluargaan dan selamat dari perkara yang tidak diingini.\n\nDalam Majlis Pelancaran OP Selamat 18 yang telah diadakan pada 26 April bertempat di Menara Telekom Malaysia, Timbalan Polis Negara, DIG Dato\u2019 Razarudin Husain menyeru kepada semua pengguna jalan raya untuk menjadi pemandu yang berhemah dan sentiasa mengambil langkah keselamatan sebelum meninggalkan kediaman.\nPerayaan Aidilfitri tahun ini dijangka mencatatkan 4.7 juta kenderaan yang akan berada di jalan raya menuju ke destinasi masing-masing.\nOleh itu, semua pengguna jalan raya disyor untuk mematuhi jadual cadangan waktu perjalanan yang dikeluarkan oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan sentiasa mengikuti aliran trafik semasa di laman sosial JSPT untuk memastikan perjalanan yang lancar." "UniMAP Sasar 34 Kolaborasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 \u201cUniversiti Malaysia Perlis (UniMAP) mensasarkan 20 kolaborasi penyelidikan bersama industri dengan 48 geran industri baharu pada tahun 2022. Manakala 14 kolaborasi penyelidikan antarabangsa dengan 10 geran antarabangsa baharu pula disasarkan pada peringkat antarabangsa,\u201d titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam majlis perasmian kempen \u201cPerlis Hebat: Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan\u201d bersempena Hari Harta Intelek Sedunia 2022 dengan kerjasama UniMAP yang disambut pada 26 April setiap tahun\nKempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang hak intelektual bagi paten, hak cipta, cap dagangan dan reka bentuk perindustrian yang memberikan kesan kepada kehidupan seharian serta untuk meraikan kreativiti dan sumbangan yang dibuat oleh para pencipta dan inovator kepada pembangunan masyarakat di seluruh dunia.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra menjelaskan bahawa Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UniMAP telah mendapat pengiktirafan sebagai \u201cInstitut Penyelidikan yang Diluluskan\u201d daripada Menteri Kewangan Malaysia selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 34B, Akta Cukai Pendapatan 1967 bermula 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026 dengan semakan semula status setiap lima tahun.\nDengan pengiktirafan ini, syarikat-syarikat yang menyumbang wang tunai untuk aktiviti penyelidikan atau menggunakan perkhidmatan di Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UniMAP layak mendapat potongan cukai pendapatan dua kali (double tax deduction) dengan mematuhi definisi penyelidikan yang diperuntukkan dalam Akta Penggalakan Pelaburan 1986.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putera turut berharap agar perolehan dana industri di UniMAP akan meningkat dengan kewujudan pengiktirafan ini sekali gus menyumbang kepada pencapaian pelbagai KPI, penarafan dan pemeringkatan universiti berkenaan.\nSelain itu, Naib Canselor UniMAP, Lt. Kol. Prof. Dr. Ts. Zaliman Sauli turut berkata, UniMAP akan cuba menyediakan dana bagi pengurusan dan pengiktirafan makmal penyelidikan oleh badan akreditasi yang berkaitan dalam memastikan para penyelidik dan pelajar-pelajar pascasiswazah mempunyai akses pada makmal yang bertaraf antarabangsa.\nDi samping itu, UniMAP juga sedang merangka program insentif penyelidikan, iaitu sebahagian daripada yuran pengajian diberikan kepada penyelia pascasisawazah dalam bentuk geran penyelidikan." "Tersalah Lapor Cukai, Apakah Perkara yang Perlu Dilakukan?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nOleh Bahagian Komunikasi,\u00a0Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif,\u00a0HASiL.\nMusim pengisytiharan pendapatan penggajian Tahun Taksiran 2021 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) akan melabuhkan tirainya pada 30 April 2022 bagi yang mengemukakan borang secara manual, manakala menerusi e-Filing pada 15 Mei 2022.\nBagi sesetengah individu, bulan ini sememangnya dinantikan kerana berkemungkinan mereka akan menerima bayaran balik cukai (tax refund) sekiranya cukai yang kena dibayar lebih rendah daripada amaun Potongan Cukai Bulanan atau Ansuran CP500.\nSungguhpun begitu, terdapat juga pembayar cukai yang melaporkan cukai di saat-saat akhir yang seterusnya mendorong kepada kesilapan kecil dalam pelaporan cukai mereka.\nLanjutan kepada perkara itu, tindakan pindaan taksiran perlu dilakukan. Dalam artikel ini, terdapat beberapa persoalan dan tindakan yang perlu dilakukan bagi memastikan pengisytiharan cukai adalah tepat dan betul berdasarkan undang-undang percukaian.\nYa, pindaan masih boleh dibuat terhadap taksiran yang telah dilaporkan kepada HASiL. Terdapat tiga kaedah yang boleh dilakukan oleh pembayar cukai seperti berikut:\nRingkasnya BNT ini perlu digunakan bagi pindaan pengisytiharan cukai yang akan meningkatkan amaun taksiran atau jumlah cukai kena dibayar. BNT perlu dikemukakan dalam tempoh enam bulan dari tarikh yang ditetapkan dalam ACP 1967 bagi pengemukaan Borang Nyata (BN) asal, termasuklah yang dihantar secara e-Filing dalam tempoh yang ditetapkan. BNT boleh dikemukakan ke cawangan HASiL yang mengendalikan fail cukai pendapatan pembayar cukai sama ada secara serahan tangan atau melalui pos.\nUntuk maklumat lanjut, layari Portal Rasmi HASiL > Perundangan > Garis Panduan > Garis Panduan Bil. 1 Tahun 2020: Prosedur Pengemukaan Borang Nyata Terpinda.\nPindaan maklumat asas seperti nombor telefon, e-mel, alamat surat-menyurat, kediaman dan premis perniagaan serta nama dan akaun bank boleh dibuat melalui e-Kemaskini. Sebagai contoh, jika pembayar cukai tersilap mengisi nombor akaun bank pada borang nyata cukai yang asal.\nSituasi\nKaedah Pindaan\nContoh:\nA telah melaporkan pendapatan penggajian sebanyak RM500 000 dalam e-BE Tahun Taksiran 2021 pada 1 Mac 2022. A menyedari kesilapan tersebut dan pendapatan yang betul adalah RM50 000.\nJika bukan e-BE, rayuan secara manual ke cawangan HASiL berdekatan.\nContoh:\nA telah menuntut pelepasan anak di bawah 18 tahun seramai tiga orang dalam e-BE TT2021. Isteri A juga menuntut bilangan anak yang sama. Setelah berbincang, A dan isteri bersetuju dua orang anak dituntut oleh isteri. Dan A boleh menuntut bilangan seorang anak sahaja.\nPembayar cukai yang telah mengemukakan BN asal dalam tempoh yang ditetapkan boleh mengemukakan BNT dalam tempoh enam bulan daripada tarikh akhir pengemukaan BN asal. Pembayar cukai perlu kemukakan BNT secara serahan tangan atau pos ke cawangan yang mengendalikan fail pembayar cukai.\nPembayar cukai yang telah mengemukakan BN dalam tempoh ditetapkan dibenarkan untuk membuat pindaan melalui e-Permohonan Pindaan BE dan melalui BNT dan terhad kepada sekali sahaja.\nWalau bagaimanapun, sekiranya masih terdapat pindaan selepas permohonan pindaan pertama dibuat, pembayar cukai perlu mengemukakan surat rayuan berserta dokumen dan resit yang berkaitan ke cawangan yang mengendalikan fail cukai mereka.\nPastikan semakan telah dibuat dengan betul supaya tidak perlu lagi membuat pindaan atas pindaan.\nYa, betul. Terdapat beberapa pindaan sendiri yang menyebabkan perubahan, antaranya termasuklah:\nPastikan kiraan manual dilakukan bagi resit yang ada terlebih dahulu, kumpulkan dalam satu fail, input boleh dikunci masuk pada Borang Nyata manual atau e-Filing. Tidak salah untuk membuat kiraan beberapa kali atau mengemas kini maklumat dalam e-Filing untuk kepastian selagi belum klik butang hantar.\nMembuat perbandingan dengan pasangan (bagi yang telah berkahwin), dengan cara membuat pengiraan cukai (tax computation) terlebih dahulu. Dari situ pelanggan dapat mengenal pasti siapa yang patut menuntut pelepasan anak dan menikmati penjimatan cukai, seterusnya jika telah berpuas hati barulah klik butang hantar. Sering kali terjadi kes di mana, suami atau isteri menuntut anak yang sama dalam e-BE masing-masing disebabkan tiada perbincangan antara pasangan. Proses audit akan dijalankan atas pelaporan maklumat yang tidak tepat oleh pembayar cukai.\nKesimpulannya, masalah tersalah lapor ini boleh dielakkan jika pembayar cukai menyemak dengan meneliti maklumat yang telah dikunci masuk berserta resit berkaitan sebelum borang BE dihantar. Pembayar cukai juga dinasihatkan supaya cakna dengan maklumat terkini percukaian yang boleh diakses di portal rasmi HASiL atau boleh merujuk artikel yang pernah diterbitkan sebelum ini. Panduan mengisi borang borang e-Filing juga boleh dicapai menerusi laman portal HASiL.\nTerima kasih #KeluargaMalaysia, jalankan tanggungjawab anda untuk melapor dan membayar cukai dengan betul demi kelestarian percukaian negara." "Kelonggaran SOP Pendidikan untuk Pelajar, Guru dan Ibu Bapa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa imbasan MySejahtera tidak perlu lagi dilakukan oleh warga pendidikan dan pelawat luar jika memasuki kawasan sekolah.\nDi samping itu, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan dalam ruangan tertutup di sekolah, seperti pusat sumber dan bilik darjah. Namun begitu, terdapat pengecualian tertentu, iaitu guru dan pelajar bebas untuk tidak memakai pelitup muka seperti semasa berada bersendirian di dalam kelas, mengajar di hadapan kelas bagi guru atau sewaktu melakukan aktiviti sukan dan rekreasi, termasuklah aktiviti pendidikan jasmani.\nPengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin dalam Sidang Media Khas Menteri Kanan Pendidikan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya pada hari ini.\nMenurut Datuk Dr. Radzi, perkara itu merupakan antara pengoperasian institusi yang baharu dan terkini di bawah kementerian selaras dengan kelonggaran prosedur operasi standard yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam.\nDatuk Dr. Radzi turut berkata, kanak-kanak berusia lima tahun dan ke bawah, individu berkeperluan khas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan juga bebas tidak memakai pelitup muka berdasarkan rekod kesihatan diri masing-masing. Di samping itu, jika murid-murid berada di luar bangunan atau di kawasan terbuka, pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan tetapi amat digalakkan.\nDalam sidang media yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa tiada lagi amalan penjarakan fizikal di dalam kawasan sekolah atau institusi di bawah kementerian, sebaliknya penjarakan fizikal amat digalakkan jika keadaan murid tidak memakai pelitup muka.\nSelain itu, guru yang tidak divaksinasi dibenarkan mengajar secara bersemuka di dalam kelas dan ketika berada di bilik guru. Walau bagaimanapun, kumpulan guru terbabit perlu mematuhi Garis Panduan Pengoperasian dan Pengurusan Sekolah yang telah ditetapkan terutamanya berkaitan dengan pemakaian pelitup muka.\nDatuk Dr. Radzi turut memaklumkan bahawa kehadiran pelajar ke sekolah dan institusi di bawah KPM adalah diwajibkan bermula 1 Mei 2022, namun pengecualian hanya diberikan kepada mereka yang mempunyai sebab yang tertentu termasuklah individu yang positif COVID-19.\n\u201cMengenai waktu rehat pula, para pelajar dan guru-guru dibenarkan untuk makan di kantin seperti biasa, manakala aktiviti sukan yang melibatkan pertandingan antara sekolah, pertandingan peringkat daerah mahupun negeri juga dibenarkan berlangsung seperti biasa dengan syarat tiada individu positif COVID-19 yang menyertai aktiviti berkenaan.\nEtika dan syarat pemakaian baju seragam sekolah serta tatahias diri seperti rambut panjang dan sebagainya terus diberikan kelonggaran sehingga sesi penggal persekolahan kedua. Namun begitu, pelajar diwajibkan memakai pakaian seragam sekolah bermula pada 12 Jun ini,\u201d ujar Datuk Dr. Radzi.\nJelas Datuk Dr. Radzi Jidin lagi, bagi pelajar yang bersekolah asrama, aktiviti bersiar-siar dan pulang bermalam di kediaman keluarga turut dibenarkan. Ibu bapa juga dibenarkan untuk melawat anak atau jagaan mereka di asrama sekolah seperti biasa tanpa sebarang halangan dan syarat." "SPRM Berhak Siasat Pegawai Badan Awam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menjelaskan bahawa suruhanjaya itu mempunyai hak untuk kes jenayah rasuah di bawah Akta SPRM 2009, termasuklah siasatan kepada pegawai badan awam.\nSeksyen 3 akta tersebut menyatakan,\n\u201cPegawai badan awam\u201d ertinya mana-mana orang yang menjadi anggota, pegawai, pekerja atau pekhidmat sesuatu badan awam, dan termasuklah anggota pentadbiran, ahli Parlimen, ahli sesuatu Dewan Undangan Negeri, hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan, dan mana-mana orang yang menerima apa-apa saraan daripada wang awam dan jika badan awam itu ialah suatu perbadanan seorang, termasuklah orang yang diperbadankan sebagai perbadanan itu.\nMenurut kenyataan SPRM, setelah semua prosedur siasatan lengkap dilaksanakan kertas siasatan ke Pejabat Peguam Negara dikemukakan untuk membuat keputusan sama ada pendakwaan boleh disabitkan kesalahan atau sebaliknya.\nApabila sesuatu laporan atau aduan rasmi, suruhanjaya ini bertanggungjawab untuk mengesahkan dan menyiasat apa-apa perkara yang terlibat di bawah bidang kuasanya.\nBerhubung dengan siasatan terhadap seorang hakim yang tular baru-baru ini, SPRM menerima satu aduan pada 15 Mac 2022 diikuti dengan dua lagi aduan pada 23 dan 27 April 2022.\nSPRM telah memiliki rekod menyiasat hakim tersebut dan kertas siasatan berkaitan telah diserahkan ke Pejabat Peguam Negara untuk membuat penilaian.\nPada masa yang sama, SPRM\u00a0 menjelaskan apabila penyiasatan terhadap seseorang individu itu dilakukan, hal ini tidak bermaksud individu itu bersalah.\nOrang awam dimohon agar memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk memastikan proses penyiasatan dapat dijalankan mengikut undang-undang seperti ditetapkan." "PLUS Nasihat Semak Baki Touch \u2018n Go sebelum Balik Kampung\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menasihatkan semua pengguna lebuh raya PLUS untuk menyemak baki kad Touch \u2018n Go (TNG) sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung bersempena musim perayaan yang bakal menjelang.\nPengguna lebuh raya yang mempunyai kad berstatus tidak aktif atau tamat tempoh tidak boleh melepasi plaza tol dan boleh menyebabkan punca kesesakan trafik di plaza tol yang terlibat.\nKetua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata dalam satu kenyataan,\nKami menasihatkan supaya pelanggan kami yang mempunyai kad Touch \u2018n Go tidak aktif atau tamat tempoh untuk segera mendapatkan kad yang baharu daripada peruncit dan ejen jualan sah Touch \u2018n Go di seluruh negara.\nSelain kad Touch \u2018n Go, pengguna lebuh raya boleh menggunakan dan menambah nilai MyKad atau kad kesetiaan Watson yang dilengkapi dengan cip Touch \u2018n Go sebagai alternatif lain.\nPLUS mengambil langkah proaktif dengan menyediakan pusat tambah nilai Touch \u2018n Go di R&R terpilih, mesin Mesin Teler Automatik (ATM) dan kedai serbaneka di sepanjang lebuh raya PLUS bagi kemudahan pengguna.\nDalam pada itu, PLUS turut menyediakan kemudahan tambah nilai lain termasuklah 67 Kios Layan Diri (SSK) di plaza tol terpilih berserta 22 buah kaunter TNG di stesen minyak terpilih tanpa caj.\nPelanggan boleh menghubungi talian khidmat pelanggan PLUS\u00a0atau layari laman sesawang PLUS\u00a0untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dengan kemudahan TNG." "Karnival Semarak Kurnia 2022: Ubah Stigma Masyarakat, Hargai Kanak-kanak Autisme\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSentul \u2013 Sempena bulan Autisme Sedunia, Pusat GENIUS Kurnia (PGK) menganjurkan Majlis Karnival Semarak Kurnia 2022\u00a0bagi menyemarakkan kesedaran masyarakat untuk lebih mengenali dan memahami individu yang mengalami autisme bermula 14 Mac hingga 29 April 2022.\nDengan tema \u201cDunia Saya, Dunia Autisme\u201d, program tahunan ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk disertai oleh komuniti autisme dan keluarga mereka, di samping bertindak sebagai platform untuk memberikan kemudahan sokongan komuniti serta membina rangkaian kerjasama dengan organisasi luar atau pertubuhan autisme.\nDalam majlis tersebut, Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin menyeru masyarakat\u00a0agar\u00a0lebih bertoleransi dalam menerima dunia autisme sebagai sebahagian daripada komuniti.\nKita perlu sedar bahawa di sebalik setiap kelainan yang dihadapi oleh mereka, kanak-kanak autisme ini juga perlu diberikan peluang sama rata seperti kita semua.\nDengan ini, akan wujudnya perasan empati masyarakat terhadap anak-anak istimewa ini. Inisiatif yang dilakukan ini merupakan satu usaha murni dan berterusan dalam memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang dunia autisme, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.\nTambah beliau, penerimaan perbezaan dan kepelbagaian dalam kalangan individu yang mengalami autisme dan keluarga mereka adalah sangat penting dalam memberikan sokongan moral, sekali gus memberikan kelegaan kepada mereka dalam menghadapi setiap cabaran.\nMenurut Pengarah Pusat GENIUS Kurnia, Dr. Nil Farkh Sulaiman, Hari Kesedaran Autisme Sedunia merupakan hari yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan disambut pada 2 April setiap tahun. Hari Kesedaran Autisme Sedunia ini telah ditetapkan dalam perhimpunan Agong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2008 adalah sebagai satu langkah untuk meningkatkan kesedaran mengenai autisme di seluruh dunia.\n\u201cHari ini khas disambut untuk memberikan sokongan kepada individu yang mengalami autisme, lantas mengiktiraf kebolehan dan kemampuan mereka,\u201d kata Dr. Nil Farkh semasa pembukaan majlis yang berlangsung secara maya tadi.\nMajlis tersebut diraikan dengan menyaksikan persembahan istimewa yang dipersembahkan oleh kanak-kanak autisme dan mempamerkan penghasilan karya \u201cDunia Saya, Dunia Autisme\u201d.\n\n\nSementara itu, Setiausaha Bahagian GENIUS, Dr. Norasiah Spahat mengharapkan program sebegini dapat melahirkan masyarakat yang cakna terhadap autisme dan sekali gus mengurangkan stigma negatif dalam segelintir masyarakat terhadap individu yang mengalami autisme.\nMenyokong usaha murni ini, YB Datuk Dr. Radzi menyeru orang ramai\u00a0agar\u00a0dapat menyertai aktiviti yang disediakan dan memberikan sokongan penuh kepada penganjuran Majlis Karnival Semarak Kurnia 2022 pada kali ini.\nKPM amat prihatin tentang keperluan komuniti autisme dan komited dalam memberikan pendidikan terbaik dan bersifat inklusif melalui kurikulum yang bersesuaian dengan kanak-kanak autisme.\nPusat GENIUS Kurnia merupakan pusat di bawah pentadbiran KPM yang menyediakan program intervensi awal dan prasekolah untuk anak-anak autisme. PGK telah memulakan operasinya pada Disember 2015 dengan menyediakan Program Prasekolah, Program Intervensi Awal dan Sokongan Keluarga serta Program Pendidikan Komuniti.\nTanda pagar #DuniaSaya #DuniaAutisme #KSK2022 digunakan secara meluas bagi menyebarluaskan kandungan dan mesej berkaitan dengan penganjuran Karnival Semarak Kurnia 2022." "Integriti Pemangkin Kecemerlangan Pekerja\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIntegriti secara amnya merupakan cerminan daripada sifat jujur, bertanggungjawab, boleh dipercayai, berdedikasi dan lain-lain lagi. Berintegriti merupakan satu daripada sifat terpuji yang wajib bagi seorang yang bergelar manusia.\nPekerja pula merupakan mereka yang mencari rezeki dengan memperoleh gaji atau upah dan tertakluk pada peraturan tugas bagi memastikan mereka menghasilkan mutu kerja yang memuaskan seperti yang diamanahkan.\nKecemerlangan seseorang pekerja adalah lambang kejayaan dalam perkhidmatannya. Untuk mencapai tahap kecemerlangan, setiap pekerja perlu menanam azam, beriltizam, menguasai ilmu dan kemahiran bagi melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Pencapaian ini akan terlaksana jika setiap pekerja melaksanakan tugasnya dengan terbaik, sempurna dan penuh tanggungjawab serta berintegriti. Integriti dalam pekerjaan terbukti mampu mendorong seseorang pekerja supaya dapat menyempurnakan tugas dengan teratur dan mengikut perincian kerja dan masa yang ditetapkan.\n\nPekerja yang dilantik pastinya terdiri daripada kalangan yang terpilih bagi melaksanakan tugas. Pemilihan pekerja juga sudah tentu dengan harapan pekerja itu dapat menjadi pekerja terbaik kerana amanah yang diserahkan kepadanya. Pemilihan pekerja yang terbaik merupakan tuntutan dalam organisasi khususnya organisasi yang memberikan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat dan orang awam.\nSehubungan dengan itu, sebagai pekerja, kita seharusnya bersyukur sekiranya diberikan amanah untuk menguruskan kepentingan awam. Hal ini menandakan betapa kita memiliki kelebihan yang tidak ada pada orang lain sehingga diberikan kepercayaan penuh mentadbir hak-hak orang ramai.\nBerintegriti dalam pekerjaan samalah dengan usaha untuk menunaikan janji yang wajib ditunaikan berdasarkan perjanjian atau aku janji penyerahan tugas oleh majikan dan penerimaan tugas oleh pekerja.\nSetiap pekerja perlu menghayati nilai-nilai amanah dalam melaksanakan tugas. Sebagai pekerja, kita perlu memelihara integriti dalam pekerjaan dan melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab kerana pekerjaan bukan sekadar melaksanakan tugas, malah juga untuk mencari rezeki yang halal untuk diri dan keluarga kita.\nSetiap pekerja tertakluk pada peraturan kerja yang ditetapkan oleh majikan serta gaji yang setimpal dengan tugas yang diamanahkan. Pelaksanaan tugas seperti ditetapkan perlu diusahakan bagi memastikan pendapatan yang diterima benar-benar bersih dan berhak diterima.\nJika seseorang pekerja tidak berintegriti dalam melaksanakan amanah tugasnya dengan sempurna atau bersikap curi tulang, bermakna dia tidak berhak ke atas hasil gajinya. Situasi ini sama dengan perbuatan mereka yang membuat tuntutan palsu, menyeleweng dan terlibat dengan rasuah. Biarpun kurang terdedah untuk tindakan undang-undang, pekerja yang tidak berintegriti ini sebenarnya lebih hina dan jijik daripada penjenayah mahupun pelaku rasuah.\nOleh itu, marilah kita bersama memelihara dan melaksanakan tugas serta tanggungjawab masing-masing dengan penuh integriti tanpa mengambil kesempatan untuk mendapat faedah atau kepentingan diri. Setiap daripada kita perlu sentiasa memberikan komitmen yang terbaik dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab agar menepati piawaian terbaik yang mampu dilakukan bukan sahaja untuk majikan dan organisasi, bahkan demi keberkatan rezeki sendiri serta keluarga yang disayangi. Selamat Hari Pekerja!\nPenulis, Presiden Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) Malaysia." "Bersahabat dengan Kamus untuk Menambahkan Ilmu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMenggatal \u2013 Program Bersahabat dengan Kamus (BdK) anjuran Unit Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) berjaya dilaksanakan untuk siri yang ke-5 dengan kerjasama Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lok Yuk, Menggatal, di SJKC Lok Yuk, Menggatal, Sabah.\nProgram yang dilaksanakan selama hampir sejam lebih ini melibatkan penyertaan sebanyak 97 orang murid Tahap Dua, enam orang guru dan empat orang pegawai DBPCS selaku urus setia. Ceramah Bdk ini disampaikan oleh Puan Julianah Kuli, Ketua Unit Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBPCS.\nPada tahun ini, DBPCS merancang untuk melaksanakan program BdK sebanyak sembilan siri, iaitu enam siri yang bersifat pembudayaan bahasa Melayu atau bahasa sukuan secara umum dan tiga siri lagi berkaitan dengan pembudayaan Jawi.\nDalam pelaksanaan program BdK siri yang ke-5 ini, DBPCS amat berbesar hati kerana dapat menjalinkan kerjasama erat dengan SJKC Lok Yuk, Menggatal, Sabah yang diketuai oleh Puan Yee Goih Hong, selaku Guru Besar sekolah tersebut.\nPuan Chung Nyuk Kim, Penolong Kanan Kokurikulum SJKC Lok Yuk juga melahirkan rasa teruja dan bersemangat apabila melihat penglibatan murid-murid yang sangat baik dan berharap agar program ini diteruskan lagi pada masa akan datang.\nProgram ini dilaksanakan dengan tujuan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar dan orang ramai tentang fungsi kamus, cara menggunakan kamus dengan betul dan tatacara pembinaan kamus. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk memberikan maklumat kepada orang ramai bahawa DBP menerbitkan pelbagai jenis kamus ekabahasa, kamus dwibahasa, kamus istilah dan kamus bahasa sukuan, sekali gus membantu meningkatkan jualan kamus DBP.\nProgram ini juga menggalakkan khalayak memberikan saran kata baharu melalui medium yang betul. Di samping itu, program ini sebenarnya juga bertujuan untuk memperkenalkan Kamus Dewan Perdana kepada masyarakat umum terutama tentang maklumat baharu yang ada di dalam kamus ini seperti etimologi, fonetik dan ejaan Jawi." "Ambil Peduli dan Fahami Fasa Endemik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Sedar tidak sedar, sudah masuk tahun ketiga masyarakat hidup dalam era COVID-19. Dalam tempoh itu, pelbagai perubahan dan keputusan terpaksa dibuat bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak. Rakyat Malaysia umumnya dan Perlis secara khususnya juga bersyukur kerana berjaya mengharunginya walaupun diduga dengan seribu satu cabaran.\nDemikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut siaran media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat MAIPs kepada Adzmi Safar 69 tahun di Repoh dekat Kangar baru-baru ini. Adzmi merupakan\u00a0 penerima sumbangan Sara Hidup Berkala MAIPs dan juga telah dicadangkan oleh pihak Jawatankuasa Masjid kariah berkenaan untuk dipertimbangkan sebagai penerima penerima Bantuan Baik Pulih Rumah daripada pihak MAIPs.\n\u00a0\nTambah baginda lagi, tanpa kerjasama daripada seluruh rakyat, adalah amat mustahil untuk melaksanakan segala perkara yang dirancang oleh pihak berkuasa dengan baik dan lancar. Selain itu, baginda turut menzahirkan ucapan tahniah atas prestasi serta kepatuhan yang telah ditunjukkan oleh semua masyarakat.\nDalam menghadapi fasa endemik ini, Tuanku Raja Muda turut mengingatkan anggota masyarakat agar mengambil peduli dan memahami mengenai fasa endemik dengan lebih jelas dan mengambil inisiatif bagi memastikan kesejahteraan hidup diri sendiri, keluarga tersayang, kejiranan dan rakan-rakan di tempat kerja. Hal ini untuk memastikan kehidupan mereka terus terpelihara dengan sebaik-baik mungkin tanpa sekali-kali cuai dan leka. Menurut baginda, walaupun kini keadaan serta data statistik menunjukkan keadaan agak terkawal, namun virus ini masih wujud. Titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi,\nTanpa komitmen serta kerjasama semua pihak, kita tidak akan berjaya mengharungi cabaran yang silih berganti, malah kita tidak akan mampu mengorak langkah ke hadapan. Bak kata pepatah bahasa Inggeris, \u2018When people cared about each other, they always found a way to make it work\u2019." "Aidilfitri: Terkejut tetapi Meriah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada hari ketiga di beberapa buah daerah di Kelantan kelihatan begitu meriah dengan kepulangan perantau yang sebelum ini mencari rezeki di beberapa buah negeri lain termasuklah di ibu negara, Kuala Lumpur. Walaupun kebanyakan umat Islam di negara ini beranggapan bahawa 1 Syawal akan diraikan pada 3 Mei, namun pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, ternyata mengejutkan seluruh umat Islam yang rata-ratanya masih berada di jalan raya pada waktu itu untuk pulang ke kampung halaman.\nSituasi yang agak kelam kabut itu ternyata memberikan pengalaman baharu buat seluruh umat Islam di negara ini, baik dalam kalangan perantau atau warga kota apabila mereka bertungkus lumus menyediakan pelbagai keperluan dan persiapan menjelang keesokan harinya.\nHasil tinjauan mendapati kawasan kejiranan yang dihadiri oleh wartawan kami yang kebetulan pulang beraya di kampung halaman di negeri ini berlaku sedikit kekalutan. Pemerhatian\u00a0 kami di daerah Tumpat, menunjukkan ada yang mula risau apabila tidak sempat menyiapkan tempahan baju raya daripada pelanggan, menyediakan buluh untuk membakar lemang, menyediakan menu istimewa pada pagi hari raya, menghias rumah dan hal-hal yang berkaitan dengan sambutan Aidilfitri.\nSeorang penduduk yang ditemui semalam, Omar Hashim, 45 tahun, memberitahu bahawa beliau terpaksa beraya di ibu negara terlebih dahulu memandangkan tiket yang ditempahnya tidak dapat ditukar disebabkan sudah kehabisan tiket. Hal itu berlaku kerana beliau tidak menyangka bahawa sambutan 1 Syawal diisytiharkan sehari lebih awal. Pengalaman tersebut walaupun agak pahit baginya, namun tetap diraikan dengan penuh kesyukuran apabila baginya perkara yang lebih penting pada tahun ini beliau berpeluang untuk memohon kemaafan secara langsung bersama-sama kedua-dua orang tuanya.\nShila Ibrahim, 25 tahun pula memberitahu beliau tiba di kampung halamannya di Wakaf Bharu pada waktu subuh 1 Syawal dan tidak sempat membantu ibunya menyediakan juadah raya kerana terus bergegas menyediakan kelengkapan baju raya untuk suami dan anak-anaknya. Pada masa yang sama, mereka terpaksa bergegas ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri. Ternyata, pengalaman pada kali ini adalah yang pertama buat dirinya, namun beliau tetap bersyukur dapat tiba di kampung halaman pada saat-saat akhir.\n\nSuasana di Masjid al-Huda, Mukim Ketil, Pengkalan kubor pada 1 Syawal juga berlaku penambahan tiga kali ganda para jemaah. Pihak jawatankuasa masjid terpaksa menyediakan beberapa buah khemah khas untuk memuatkan bilangan jemaah sedia ada dan perantau yang pulang menyambut Syawal di kampung tersebut. Walau bagaimanapun, solat sunat Aidilfitri tetap dapat dilakukan dengan sempurna. Selepas jemaah besurai, tradisi menghulurkan sampul duit raya kepada kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah diteruskan seperti tahun-tahun sebelumnya kecuali semasa PKP.\nTinjauan di kebanyakan restoran dan gerai makanan juga mendapati rata-rata pengusaha mengambil kesempatan untuk meningkatkan hasil pendapatan seawal pada hari raya pertama, iaitu pada sebelah malamnya. Hal ini berikutan negeri Kelantan berlaku pertambahan pengunjung dengan kepulangan perantau bersama-sama keluarga masing-masing. Kebanyakan pihak yang ditemui menyimpulkan bahawa walaupun mereka berdepan dengan situasi panik, tetapi majoritinya menyatakan rasa seronok dan keterujaan mereka untuk meraikan kedatangan Syawal pada kali ini. Lebih-lebih lagi, tahun ini merupakan sambutan Aidilfitri pertama yang menyaksikan kehidupan rakyat sudah kembali berubah seperti sebelum ini selepas dua tahun tidak dapat meraikannya bersama-sama keluarga dan sanak saudara di kampung halaman.\nKebanyakan penduduk yang ditemui juga menyatakan bahawa segala keperluan dapat disempurnakan dengan semampu yang boleh untuk menyambut hri raya pada tahun ini dek pengumuman raya yang mengejutkan itu, namun tidak dapat dinafikan bahawa kemeriahan sambutan lebaran pada kali ini tetap dirasai. Ada penduduk yang tidak dapat melelapkan mata hingga ke pagi Syawal kerana bertungkus lumus menyediakan juadah hari raya selain melakukan persiapan seperti menghias rumah. Ada yang terpaksa menggunakan semula baju raya tahun sebelumnya (sebelum PKP) dek tukang jahit yang tidak menang tangan menyiapkan tempahan mereka.\nWalaupun hari raya pada tahun ini ditafsirkan sebagai hari raya \u201cterkejut\u201d, namun kemeriahan meraikan Syawal tanpa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diraikan dengan penuh kesyukuran oleh seluruh umat Islam di negara ini. Hari raya yang berlangsung awal sehari daripada yang dijangkakan ini memberikan pengalaman baharu buat generasi muda. Apatah lagi, kemeriahannya tetap dirasai, lebih-lebih lagi selepas dua tahun berkurung di dalam rumah tanpa kehadiran tetamu, keluarga tercinta dan sahabat handai.\nWalau bagaimanapun, seorang jiran yang wakil kami temui menceritakan bahawa sambutan raya pada tahun ini tidak memberikan apa-apa makna buatnya apabila beliau kehilangan kedua-dua insan tercinta pada tahun lalu akibat dijangkiti wabak COVID-19. Sambutan Aidilfitri terakhir bersama-sama kedua-dua ibu bapanya diraikan pada tahun 2019. \u201cDua tahun berturut-turut saya tidak dapat beraya bersama-sama kedua-dua ibu bapa dan apabila kerajaan membenarkannya pada tahun ini, kedua-dua ibu bapa saya sudah tiada lagi di dunia ini,\u201d luah Zainal, 31 tahun. Kisah ini antara momen sedih yang sempat dikongsikan oleh wartawan kami.\n\nSebagai kesimpulannya, sambutan Aidilfitri pada tahun ini dapat diraikan dengan penuh kesyukuran dalam kesederhanaan. Ramai yang menyifatkannya sebagai sambutan raya mengejut tetapi meriah!" "Pemilihan Bidang Pengajian, Penentu Kekuatan Kejayaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPadang Besar\u00a0\u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru pelajar agar lebih mengkaji akan kekuatan subjek dalam bidang pengajian bagi memastikan bakat dan kebolehan diri bersesuaian dengan permintaan industri kini.\nBukalah mata untuk memilih kerjaya yang bakal diceburi selepas tamat belajar bermula dari peringkat awal. Mungkin kerjaya tersebut selari dengan sijil kelulusan, tetapi mungkin juga berlainan bidang.\n\u201cMaka kenali faktor penarik sebelum membuat keputusan memilih kerjaya idaman masing-masing.\nDemikianlah titah baginda selepas berkenan berangkat singgah menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Hanafi Shafie, seorang pelukis yang berniaga secara dalam talian dan sedang menjaga ibunya yang sakit di Kg. Chantik, Padang Besar baru-baru ini.\n\nMenurut baginda, graduan kini kebanyakannya mendapatkan pekerjaan dalam bidang yang berbeza daripada bidang atau subjek yang dipelajari oleh mereka semasa pengajian. Namun begitu, baginda menegaskan perkara ini bukan suatu masalah yang besar.\n\u201cDapatkanlah nasihat daripada mereka yang berpengalaman dan berjaya, terutamanya sekali dalam aspek pengalaman dan kejayaan atau kegagalan sepanjang laluan kerjaya mereka untuk dijadikan sebagai iktibar. Dapatkan pandangan mereka berkaitan dengan keperluan kemahiran terkini atau perkara yang diharapkan oleh majikan terhadap seseorang pekerja mereka,\u201d titah baginda lagi.\nTerdahulu,\u00a0turut mengiringi baginda dalam agihan sumbangan zakat ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs,\u00a0Hj.\u00a0Mohd.\u00a0Nazim Mohd.\u00a0Noor\u00a0bagi menyantuni Mas Suenah, seorang penoreh getah yang berusia \u00a050 tahun dan Roslan Md Desa,\u00a054 tahun,\u00a0yang bekerja kampung sempena program \u201cKayuhan MAIPs Peduli Menjejaki Dan Menyantuni Asnaf\u201d\u00a0di rumah masing-masing." "Bola Raya 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda berdua, iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan perlawanan \u201cBola Raya 2022\u201d yang diadakan di Stadium Tuanku Syed Putra Kangar pada malam semalam. Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Yang DiPertua PPKL, YBhg. Dato\u2019 Syed Moheeb Syed Kamarulzaman serta Timbalan Yang DiPertua, YBhg.\u00a0 Datin Seri Datuk Hajah Norayini Ali dan Setiausaha PPKL, Encik Anuar Zaki.\nDalam perlawanan tersebut, Pasukan Pilihan Veteran Perlis\u00a0 berjaya mengalahkan Pasukan Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) dengan jaringan gol 3-2. Gol Pasukan Pilihan Veteran Perlis dijaringkan oleh Azizi Mat Ros, Wan Zukri Wan Ya dan Muhd Nizam Ibrahim manakala gol balas Persatuan Perlis Kuala Lumpur pula disumbat oleh Es Ridzuan Zahid Amir dan Muhammad Faris Abdullah Mohd Rosdi.\nMenerusi perlawanan tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan\u00a0 menyempurnakan penyampaian cenderamata kepada para pemain bagi kedua-dua pasukan.\nPertandingan tersebut merupakan aktiviti tahunan anjuran PPKL bersempena dengan Hari Raya Aidilfitri. Pertandingan \u201cBola Raya 2022\u201d diadakan untuk mengeratkan silaturahim dan meningkatkan semangat kesukanan dalam kalangan anak-anak Perlis yang pulang berhari raya. Kebanyakan mereka bermastautin di Lembah Kelang.\nPerlawanan bola sepak berkenaan diilhamkan oleh Tuanku Raja Muda ketika baginda masih berkhidmat dengan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) di ibu negara. Pada waktu itu, baginda juga merupakan Pengerusi Portfolio Sukan AJK PPKL.\nPerlawanan yang diadakan sejak 1992 itu berjaya diteruskan sehingga ke hari ini. Walau bagaimanapun, pada tahun 2020 dan 2021, perlawanan berkenaan tidak dapat diadakan kerana penularan COVID-19 yang melanda negara.\nTurut diadakan khas pada malam semalam ialah sesi doa memohon keampunan dan kerahmatan kepada dua orang sahabat dan pendokong utama pasukan PPKL sejak awal penubuhannya yang telah meninggal dunia, iaitu Allahyarham Mohd Rosdi Sudin dan Allahyarham Kapten Abdul Halim Abdul Hamid. Doa dipimpin oleh Ustaz Mohd Wafiq Desa dari Jabatan Mufti Negeri Perlis.\nTurut hadir dalam program tersebut ialah Pegawai Kewangan Negeri Perlis, iaitu Tuan Haji Zepri Saad dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Perlis, Encik Anuar Abidin." "ICQ Wang Kelian Wajar Dinaik Taraf\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nWang Kelian\u00a0\u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Wang Kelian di Perlis segera dinaik taraf.\n\u201cSudah tiba masanya, fasiliti yang menempatkan pelbagai agensi penguatkuasaan dan keselamatan negara di Wang Kelian dilengkapi dengan kemudahan yang sempurna dan persekitaran kerja yang kondusif sebagai pemangkin kepada perkhidmatan yang terbaik.\u201d\nTambah baginda, semua jabatan dan agensi yang bertanggungjawab harus menyelia kompleks berkenaan.\nMenurut Tuanku Raja Muda, Kompleks ICQ Wang Kelian wajar dinaik taraf agar sekurang-kurangnya setanding dengan Kompleks ICQ Wang Prachan di Thailand\u00a0\u00a0bagi menjaga imej negeri Perlis dan juga negara Malaysia, yakni sebagai barisan hadapan dan merupakan satu daripada \u201cPintu Masuk Negara\u201d.\nTitah baginda selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Mahabbah Aidilfitri MAIPs \u2013 Wilayah Satun 2022,\u00a0anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Kompleks ICQ Wang Kelian pada tengah hari semalam.\nTurut hadir mengiringi baginda dalam program ini ialah Ketua Polis Daerah Padang Besar, ACP Mohd. Shokri Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd. Nazim Mohd. Noor.\nSempena kunjungan tersebut, Tuanku\u00a0Raja Muda turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan kuih raya kepada petugas sempadan Malaysia dan Thailand, selain turut berkenan mengagihkan kuih raya kepada komuniti Muslim di Wilayah Satun.\nMengulas lebih lanjut tentang aktiviti saban tahun ini, MAIPs mempunyai hubungan kolaborasi strategik dengan Majlis-Majlis Agama Islam 6 Wilayah Andaman di Selatan Thailand melalui pelbagai bidang, antaranya termasuklah pengurusan hal ehwal Islam, pendidikan, bahasa Melayu dan tulisan Jawi." "YAB Perdana Menteri Hadir Sidang Kemuncak Khas ASEAN\u2013Amerika Syarikat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN\u2013Amerika Syarikat di Washington Daerah Columbia pada 12 dan 13 Mei 2022.\nSidang Kemuncak Khas ini diadakan bersempena ulang tahun ke-45 Hubungan Dialog ASEAN\u2013Amerika Syarikat yang merupakan landasan strategik bagi ASEAN dan Amerika Syarikat untuk mengkaji dan meneroka bidang kerjasama yang pragmatik bagi memperkukuh kerjasama sedia ada.\nSelain itu, Sidang Kemuncak Khas ini bakal membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama, kerjasama ekonomi, COVID-19 dan keselamatan kesihatan, perubahan iklim dan tenaga bersih.\nPada masa yang sama, Sidang Kemuncak Khas ini dijangka bakal mengeluarkan Kenyataan Visi Bersama yang menggariskan komitmen dan aspirasi bagi meningkatkan kerjasama antara ASEAN dengan Amerika Syarikat.\nDelegasi Malaysia akan diketuai oleh YAB Perdana Menteri diiringi oleh Menteri Luar Negeri, YB Dato\u2019 Saifuddin Abdullah dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), YB Dato\u2019 Seri Mohamed Azmin Ali.\nTurut mengikuti delegasi ini ialah pegawai-pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri dan MITI.\nYAB Perdana Menteri bersama-sama pemimpin ASEAN lain dijadualkan untuk mengikuti beberapa siri mesyuarat dan diskusi dengan Presiden dan Naib Presiden Amerika Syarikat.\nProgram lain yang disusun oleh pihak Amerika Syarikat termasuklah sesi bersama Kepimpinan Kongres Amerika Syarikat, anggota Kabinet Amerika Syarikat dan pemimpin perniagaan Amerika Syarikat." "Banteras Rasuah, Selamatkan Imej Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nWang Kelian \u2013 \u201cGejala rasuah memberikan kesan terhadap hal keselamatan sempadan negara, termasuklah alam sekitar. Akibatnya, budaya rasuah menyebabkan berlakunya aktiviti penyeludupan yang tidak sihat. Jika tidak dibendung, perkara ini boleh menjejaskan imej keselamatan negara dan merosakkan alam sekitar di sempadan negara.\u201d\nMenurut Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, jenayah rasuah jelas memberikan kesan terhadap ekonomi, bahkan merosakkan reputasi sesebuah negara.\nDalam laporan Transparency International, dunia telah mengalami kerugian kira-kira sejumlah A.S.$2.6 trilion pada setiap tahun, yakni anggaran rasuah sebanyak lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).\nDemikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri program \u201cHijrah Minda MAIPs Bilangan Ke-10 Bagi Tahun 2022\u201d bertempat di Masjid Nurul Husna, Wang Kelian baru-baru ini.\nTurut mengiringi baginda dalam program ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd. Nazim Mohd. Noor dan Ketua Polis Daerah Padang Besar, ACP Mohd. Shokri Abdullah.\nBaginda turut bertitah,\nKesalahan rasuah bukannya hanya sekadar memberi dan menerima, tetapi juga merangkumi pelbagai kesalahan lain, termasuklah tuntutan palsu dan penyalahgunaan kuasa sepertimana termaktub di dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 di bawah Seksyen 16, 17, 18 dan 23.\nJika disabitkan kesalahan di bawah akta SPRM boleh dipenjarakan tidak lebih daripada 20 tahun dan denda lima kali suapan atau RM10 000 atau mana-mana yang lebih tinggi.\nSementara itu, Tuanku Raja Muda Perlis turut berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs kepada seramai 30 orang asnaf terpilih, yakni masing-masing menerima RM400 setiap seorang dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan melalui amilnya, Md. Razak Md. Daud." "Melayu \u201cMalu\u201c Martabat Bahasa Melayu?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013\u00a0Menyedari akan signifikan bahasa Melayu kepada negara, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menegaskan betapa pentingnya Keluarga Malaysia memartabatkan bahasa Melayu sebagai lambang semangat nasionalisme linguistik.\nHasrat Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob yang ingin menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN merupakan suatu kesedaran untuk mengangkat maruah negara.\n\n\u201cSaya melihat hal ini sebagai suatu penjelmaan kesedaran untuk mengangkat maruah negara, seperti dalam ucapan Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato\u2019 Sri Tuan Ibrahim Tuan Man semasa Persidangan Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim di Glasgow dalam bahasa Melayu merupakan permulaan yang baik,\u201d ulas tokoh bahasa ini ketika menjawab soalan Tan Sri Johan Jaaffar dalam program \u201cBersama Johan Jaaffar\u201d yang berlangsung secara maya.\nMengulas lanjut berkenaan kerelevanan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memperjuangkan bahasa Melayu, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menyatakan bahawa DBP telah mencapai usia emas yang melambangkan kematangan agensi kerajaan ini dalam membuat keputusan.\nOleh sebab itu, DBP amat berbesar hati apabila penegasan YAB Perdana Menteri tentang pentingnya untuk meminda Akta DBP 1959 (Perkara 6) agar kuasa DBP tidak hanya terhad kepada memberikan teguran, nasihat, bimbingan dan sekadar menjadi badan dakwah bahasa semata-mata.\n\u00a0\u201cKita tidak bermaksud untuk mengambil alih tugas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau mana-mana agensi kerajaan, tetapi kita berharap agar agensi kerajaan dan badan-badan lain turut melihat isu bahasa Melayu sebagai isu jati diri, maruah dan kedaulatan negara,\u201d jelas Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.\nTambahnya lagi, pengiktirafan bahasa kebangsaan dalam setiap aspek kehidupan seperti bahasa ilmu, bahasa penyiaran dan bahasa undang-undang merupakan satu daripada bukti kesedaran kebangsaan yang kuat.\n\u201cNegara maju seperti Jerman masih mempertahankan bahasa kebangsaan mereka sebagai tanda memiliki semangat nasionalisme yang tinggi. Begitu juga di Indonesia, mereka mengangkat bahasa Indonesia sebagai jati diri dan menunjukkan semangat patriotisme dengan memastikan seluruh rakyatnya menggunakan bahasa Indonesia tanpa mengira kaum. Umum mengetahui bahawa dari awal, Indonesia telah meletakkan dasar negara seperti Sumpah Pemuda bertarikh 28 Oktober 1928, iaitu \u2018Kami mengaku bertanah air yang satu, negara Indonesia berbangsa yang satu, bangsa Indonesia dan berbahasa satu, bahasa Indonesia\u2019.\n\u201cMaka itu, seluruh warga Indonesia daripada pelbagai etnik turut mengalami proses penyerapan sebagai bangsa Indonesia,\u201d jelas Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan lagi.\nDalam konteks Malaysia, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berpendapat bahawa pemimpin dan rakyat termasuklah mereka yang bukan dalam kalangan bangsa Melayu perlu memiliki kebijaksanaan dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Sebagai contoh, bahasa Melayu perlu digunakan dalam semua pengajaran dan pembelajaran di sekolah jenis kebangsaan yang bukan terhad penggunaannya pada mata pelajaran Bahasa Melayu sahaja.\nHal ini dikatakan demikian kerana perkara ini menunjukkan usaha ke arah membina sebuah negara yang meraikan kepelbagaian dan pada masa yang sama harus diimbang dengan menyuburkan perasaan masyarakat untuk memperkukuh dasar negara.\nSebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan juga yakin bahawa bahasa kebangsaan pada hari ini mampu kembali bugar berdasarkan peristiwa bersejarah pada zaman Tun Abdul Razak dan Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya\u2019kub yang berjaya mengubah aliran sekolah jenis kebangsaan Inggeris kepada sekolah kebangsaan.\nBeliau berpendirian dan tetap optimis dengan melihat satu gerakan bersepadu perlu diwujudkan bukan sahaja tertumpu pada kepimpinan politik, malah terhadap institusi pendidikan termasuklah penjawat awam.\n\u201cJika penjawat awam melaksanakan tanggungjawab menggerakkan dasar negara, saya yakin peralihan pimpinan politik tidak akan banyak menjejaskan dasar negara termasuklah soal bahasa kebangsaan,\u201d akhiri beliau dalam sesi wacana Sinar \u201cBersama Johan Jaaffar\u201d pada petang ini." "Saksikan Forum Hari Guru di Media Sosial DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sejak konsep Sekolahku SEJAHTERA diperkenalkan oleh YB Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin, Menteri Kanan Pendidikan, agenda memperkasakan dan menghayati konsep ini secara holistik terus giat dilaksanakan pada setiap ruang dan kesempatan. Warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) giat melaksanakan pelbagai program dan aktiviti bagi merealisasikan aspirasi ini.\nOleh hal yang demikian, Sambutan Hari Guru pada kali ini memerlukan warga KPM terus mempergiat usaha melahirkan generasi murid berwawasan tinggi seperti yang terkandung dalam 14 elemen Sekolahku SEJAHTERA. Sambutan Hari Guru diraikan bagi melahirkan warga pendidik yang berkaliber, membina generasi Keluarga Malaysia yang menjadi modal insan, seterusnya lahir sebagai warganegara yang berbakat dan berprestasi tinggi dalam merealisasikan generasi hebat dan berdaya saing.\nBeberapa hari sahaja lagi sambutan Hari Guru 2022 akan diadakan dan negeri Kelantan dipilih menjadi tuan rumah Majlis Sambutan dan Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-51. Sudah tentu hari bersejarah ini menjadi peristiwa penting kepada seluruh warga KPM dalam meraikan golongan pendidik serta seluruh karyawan KPM dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka mendidik dan mengasuh anak bangsa.\nMajlis sambutan dan pelancaran tahun ini bertemakan \u201cGuru Tunjang Sekolah SEJAHTERA\u201d dikelolakan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan yang akan diadakan di Kampus Bachok, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), pada 16 Mei 2022 dan akan disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia. Pada majlis ini juga, YAB Perdana Menteri bakal mengumumkan Tokoh Guru Kebangsaan 2022 dan Tokoh Kepimpinan Kebangsaan 2022.\nSebelum acara kemuncak sambutan dan pelancaran pada 16 Mei 2022 (Isnin), juga bertempat di Dewan Tuanku Canselor, UMK, akan berlangsung Sesi Libat Urus Bersama YB Menteri Kanan Pendidikan dan Forum Hari Guru 2022 pada 14 Mei 2022 (Sabtu), yang akan menampilkan tiga orang ahli panel, iaitu YBhg. Profesor Dato\u2019 Dr. Md. Amin Md. Taff, Naib Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), YBhg. Profesor Dato\u2019 Dr. Abdul Mua\u2019ti @ Zamri Ahmad, Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan YBhg. Prof. Madya Dr. Ramalinggam Rajamanickam, Pensyarah, Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), manakala moderator forum ini ialah YBrs. Dr. Mardiana Ab. Jabar, Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Warisan, Fakulti Teknologi dan Warisan, UMK.\nForum ini akan membincangkan tema Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA dari pelbagai perspektif yang pastinya akan mendedahkan kaedah dan pendekatan yang lebih dinamik, komprehensif dan kreatif dalam mendepani cabaran serta kedinamikan pendidikan alaf 21 ini. \u00a0Semua Keluarga Malaysia dijemput hadir menyaksikan forum ini yang akan disiarkan secara langsung menerusi FB Langsung Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mulai esok." "Obsesi Makanan Apakah Puncanya?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAdakah sepotong kek coklat sukar ditolak walaupun anda tidak lapar? Adakah anda ingin makan biskut setiap kali melihatnya, atau adakah aiskrim, aroma kek keju atau roti bersalut mentega merangsang selera anda? Jika benar, anda mungkin seorang penagih makanan. Hal ini tidaklah mengejutkan kerana kita kini hidup di dunia apabila makanan tidak lagi berfungsi untuk tujuan hidup semata-mata, tetapi lebih terdedah kepada obsesi makanan.\nApakah faktor yang menyebabkan obsesi kepada makanan? Peningkatan obsesi makanan ialah disebabkan pengeluar makanan \u201cmenyerang\u201d otak kita dengan menukar kandungan makanan kepada lemak, garam dan gula yang menyebabkan ketagihan dan sukar ditolak. Industri makanan diproses mendorong seseorang itu ketagih untuk makan dan secara tidak sedar mendorong untuk memakan makanan yang tinggi kandungan lemak, gula dan garam.\nMakanan diproses direka untuk menjadikan kita makan secara berlebihan dan menjadi ketagih. Makanan remeh ini merangsang sistem otak dengan cara yang sama seperti dadah. Bagi mereka yang mudah terjejas, makanan remeh boleh membawa ketagihan. Menurut kajian dalam PloS One pada 2015, \u201cMakanan yang diproses diubah suai khusus untuk menyebabkan ketagihan melalui lemak atau karbohidrat halus seperti tepung putih dan gula. Makanan tidak diproses seperti epal kurang cenderung mencetuskan tindak balas ketagihan berbanding makanan yang diproses seperti biskut.\u201d\nMakanan diproses dikaitkan dengan peningkatan kadar penyakit kronik dan penambahan berat badan di negara maju. Pakar kesihatan menggelarnya sebagai \u201cdiet perosak.\u201d Makanan diproses mengandungi pelbagai bahan penambah makanan yang bukan makanan sebenar. Bahan tersebut termasuklah bahan pengawet, pewarna tiruan (satu perisa tiruan pada label mungkin mengandungi 10 atau lebih bahan kimia) dan texturants (bahan kimia penambah tekstur kepada makanan). Makanan diproses ialah sejenis bentuk bencana dalam industri makanan kerana kebanyakannya rendah nutrien dan serat, tinggi lemak trans bertoksik dan mengandungi minyak sayuran yang diproses (lemak teroksida, dan lebihannya dikaitkan dengan aterosklerosis dan penyakit jantung).\nMenurut David A. Kessler, mantan Pesuruhjaya Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) Amerika Syarikat, pemakanan secara berlebihan disebabkan oleh kombinasi lemak, gula dan garam yang digunakan oleh pengeluar makanan untuk mencetuskan \u201ctitik kebahagiaan\u201d dalam otak manusia adalah lebih merbahaya. Satu daripada cara pengusaha industri makanan menimbulkan ketagihan terhadap sesuatu produk makan ialah dengan menambah pemanis, bahan kimia, pewarna dan pengawet tiruan dalam produk makanan mereka yang akan mempunyai kesan pada otak.\nGula, lemak dan garam merupakan tiga ramuan utama yang menyebabkan ketagihan kepada makanan diproses. Saintis industri makanan menghabiskan banyak masa dalam menentukan jumlah gula, lemak dan garam yang optimum untuk mewujudkan \u201crasa nikmat\u201d. Kandungan lemak juga ditambah dalam usaha menghasilkan \u201crasa yang sempurna\u201d dan \u201ckepuasan\u201d yang merangsang otak seperti mana yang dilakukan oleh gula. Garam pula berfungsi sebagai perisa tambahan bersama dengan bahan tambahan lain yang bertindak sebagai bahan pengawet. Kombinasi bahan-bahan ini menyebabkan rasa makanan lebih memberangsangkan.\nSyarikat makanan membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk mencipta makanan dengan rasa ketagihan supaya kita sentiasa mengidamkannya, sekali gus meningkatkan pergantungan dan pengambilan terhadap makanan tersebut. Melalui gabungan sains dan strategi pemasaran, industri makanan mempengaruhi masyarakat agar terus makan secara berlebihan sungguhpun tidak berasa lapar. Akibatnya, kita terlalu banyak makan, namun tidak mendapat khasiat secukupnya, bahkan menjadi terlalu gemuk dan jatuh sakit. Makanan moden dirumus khusus untuk melahirkan rasa ketagih dan menyebabkan kita makan tanpa berfikir panjang. Strategi ini merupakan rahsia pengusaha industri makanan yang digunakan untuk membuatkan masyarakat mendambakan makanan diproses. Strategi ini menguntungkan industri tersebut tetapi pada masa yang sama menjejaskan masyarakat.\nKebanyakan orang tahu, makanan remeh atau pun makanan diproses tidak sihat dan pengambilan secara berlebihan boleh menyebabkan masalah jantung, tekanan darah tinggi dan pelbagai penyakit lain. Akan tetapi, mengapakah masyarakat masih mendambakannya?\nPihak industri makanan juga telah menghasilkan banyak produk makanan yang mencapai titik \u201ckesedapan yang tinggi\u201d. Proses ini merupakan satu proses kompleks dalam menentukan ketepatan kombinasi ramuan yang akan mencetuskan keseronokan neurologi sehingga individu yang memakannya mendapat isyarat kepuasan dan menyebabkan individu tersebut tidak berhenti makan. Makanan diproses dihasilkan supaya tahan lama dan keadaan ini boleh menjejaskan kesihatan manusia. Makanan ini menggalakkan kita untuk makan lebih banyak. Kecenderungan untuk mengambil makanan diproses kadang kala bukanlah disebabkan rasa lapar, tetapi kerana makanan itu telah diproses supaya rasanya lebih sedap dan merangsang selera untuk makan dengan lebih banyak.\nSteves Witherly, seorang saintis makanan dalam kajiannya lebih 20 tahun mendapati bahawa terdapat dua faktor yang menyebabkan sesuatu makanan menyebabkan ketagihan berbanding yang lain. Pertama, wujudnya sensasi apabila memakan makanan itu. Hal ini dicetuskan oleh rasa (masin, manis, tawar dan sebagainya) dan bau yang terhasil di dalam mulut. Semua faktor ini digabungkan untuk menghasilkan sensasi apabila otak akan menghubungkannya dengan makanan atau minuman tertentu. Kedua, binaan makronutrien dalam makanan, iaitu gabungan protein, lemak dan karbohidrat yang terkandung di dalamnya. Dalam kes makanan remeh, pengeluar makanan melihat melalui gabungan sempurna garam, gula dan lemak yang merangsang otak untuk menginginkannya secara berterusan.\nPengeluar makanan menggunakan pelbagai kaedah psikologi makanan supaya otak kita mahukan lebih banyak makanan dan menjadi pengguna setia mereka. Misalnya sensasi yang berbeza dalam makanan yang sama. Mengikut Witherly, makanan sebegini mempunyai \u201ckulit yang boleh dimakan serta dikunyah, diikuti sesuatu yang lembut atau berkrim dan penuh dengan sebatian aktif rasa.\u201d Ciri-ciri ini digunakan untuk pelbagai struktur makanan yang digemari seperti karamel, bahagian atas pencuci mulut, piza, biskut dan lain-lain. Otak mencetuskan rasa seronok apabila mengunyahnya.\nTindak balas air liur merupakan sebahagian daripada proses semasa makan. Lebih banyak makanan, maka lebih banyak air liur dikeluarkan di dalam mulut dan mematikan deria rasa. Sebagai contoh, makanan beremulsi seperti mentega, coklat, hiasan salad, aiskrim dan mayones menggalakkan tindak balas air liur yang membantu membuihkan deria rasa. Keadaan ini memjadi punca yang menyebabkan ramai orang menggemari makanan yang mempunyai sos atau acar di dalamnya kerana makanan tersebut menggalakkan pengeluaran air liur dan merangsang otak untuk makan lebih banyak dan mempunyai rasa yang lebih baik berbanding dengan makanan lain.\nBegitu juga dengan makanan yang cepat cair di dalam mulut memberi isyarat kepada otak yang kita masih belum kenyang, walaupun telah makan begitu banyak kalori. Menurut Witherly, makanan yang cair dengan cepat menyampaikan mesej kepada otak bahawa tiada kalori dalam makanan tersebut. Hal ini menggalakkan individu untuk makan secara berlebihan.\nOtak juga mempunyai rangsangan terhadap kepelbagaian rasa. Apabila melibatkan makanan, rasa yang sama menyebabkan otak menimbulkan perasaan kurang seronok dan nikmat. Dengan kata lain, deria khusus sensitif akan berkurangan dalam jangka waktu tertentu. Walau bagaimanapun, makanan remeh direka untuk mengelakkan tindak balas khusus deria ini. Makanan jenis ini menyediakan rasa yang merangsang otak untuk tidak pernah jemu memakannya. Oleh itu, sebungkus kerepek kentang boleh habis dimakan dan seseorang perlu bersedia untuk menambahnya lagi. Makanan remeh direka untuk meyakinkan otak bahawa kita mendapat khasiat pemakanan, namun bukan untuk mengenyangkan.\nJelas sekali, kita sedang menjadi uji kaji sains bagi industri makanan dengan penggunaan ramuan bukan asli. Kebanyakan pakar pemakanan bersetuju bahawa bahan kimia dan makanan tiruan memberi kesan besar terhadap kesihatan dan menyebabkan ketagihan yang sukar diatasi." "Program BACATON Teruskan Misi Semarak Bahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\n\nTaiping \u2013 Bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan, Pusat Sumber SK Taman Panglima, Taiping, Perak, telah menganjurkan Program Baca dan Tonton (BACATON). Sebanyak 123 orang murid Tahun Empat hingga Tahun Enam bersama-sama guru SK Taman Panglima, khususnya guru Bahasa Melayu, telah terlibat dalam program ini yang berlangsung selama tiga jam.\nPengisian program telah disampaikan oleh Encik Sallehuddin Ibrahim, selaku pengasas BACATON yang juga merupakan seorang penulis aktif. Program ini diadakan untuk menyemarakkan semangat membaca dalam kalangan murid di samping memberikan pendedahan asas teknik penulisan kepada murid.\nSementara itu, Ustaz Nasaruddin Abdullah, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, SK Taman Panglima, yang mewakili Guru Besar, Encik Tarmizi Che Mat, telah merasmikan program tersebut. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan harapannya agar program seumpama ini dapat diteruskan dan diadakan pada skala yang lebih besar dengan kerjasama pelbagai pihak supaya dapat dimanfaatkan secara optimum oleh murid, guru dan masyarakat setempat.\nMenurut Encik Sallehuddin, antara perkara penting yang perlu dimiliki untuk menjadi seorang penulis termasuklah murid perlu mengenal pasti dan mempunyai bahan yang menjadi kunci penulisan. Sebagai contoh, murid mestilah memilih bahan pembacaan yang baik, mempunyai kemahiran berbahasa dan memiliki ilmu pengetahuan yang luas. Selain itu, seorang penulis mestilah sentiasa prihatin dengan peristiwa yang berlaku di sekeliling mereka.\nMelalui program tersebut, murid yang terlibat juga telah menerima majalah Dewan Pelajar sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai satu inisiatif untuk menarik minat membaca dalam kalangan murid. Encik Salehuddin juga banyak menggalakkan murid untuk berkarya, terutamanya dalam penulisan.\nPihak sekolah dan pihak pengurusan Program BACATON juga menyatakan kesediaan mereka untuk melanjutkan penganjuran program tersebut untuk fasa kedua dan dirancang untuk diadakan dalam bentuk bengkel bagi murid yang berminat dalam bidang penulisan. Secara keseluruhannya, semua murid yang terlibat sangat bersemangat dan memberikan reaksi yang positif sepanjang program berlangsung." "Masyarakat Perlu Membantu Pasukan Keselamatan Mengawal Sempadan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Perlis \u2013 \u201cSemua anggota masyarakat hendaklah sentiasa berusaha bagi membantu usaha pasukan keselamatan dalam memperketat kawalan sempadan negara,\u201d titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sewaktu menyantuni dan menyampaikan sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada para petugas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pos Sekatan Jalan Raya Kuala Perlis baru-baru ini.\n\u201cUsaha pasukan keselamatan dalam memperketat kawalan sempadan negara hendaklah disambut baik dengan menjadi mata dan telinga melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan yang berlaku dalam kawasan kejiranan atau tempat kerja masing-masing sekali gus dapat memastikan aktiviti jenayah rentas sempadan berkaitan penyeludupan termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dapat dikekang dengan sebaik mungkin rentetan pembukaan semula pintu sempadan negara seperti yang telah diumumkan baru-baru ini,\u201d titah baginda lagi.\nDi samping itu, baginda yang juga merupakan Tuanku Yang DiPertua MAIPs mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga pasukan keselamatan negara dengan harapan semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan keselamatan dan kebaikan, ganjaran yang setimpal di sisi-Nya serta memelihara dan menjaga segala harta benda mereka.\nTuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah atas komitmen jitu petugas Angkatan Tentera Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia, seluruh warga Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara serta seluruh agensi negeri dan persekutuan, syarikat-syarikat swasta, pertubuhan dan orang perseorangan yang setia berkhidmat dan sanggup bergadai nyawa sepanjang tempoh ujian musibah pandemik COVID-19.\nBaginda juga menyeru kepada semua untuk bersama-sama merafak doa, memohon kepada Allah yang Maha Berkuasa agar segera lenyap segala musibah COVID-19 dan keadaan kembali pulih seperti sedia kala.\nTurut hadir sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor." "Lima Bekas Pelajar UniMAP Bina Kafeteria Diskusi Ilmiah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nPauh Putra\u00a0\u2013 Lima orang bekas pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya membangunkan satu ruangan santai untuk kegunaan diskusi ilmiah bertempat di Lantai Bawah Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra,\u00a0UniMAP,\u00a0Pauh Putra.\nMenurut UniMAP, usaha ini adalah rentetan hasrat daripada pihak universiti dan Persatuan Alumni universiti bagi merealisasikan program \u201cGiving Back to UniMAP, Giving Back to Society\u201d.\nMajlis perasmian kafeteria itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Canselor UniMAP.\nKeberangkatan baginda turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Tuanku Pro-Canselor, serta puteri sulung baginda berdua, Yang Amat Mulia Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail. Keberangkatan baginda disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Lt Kol Prof. Dr. Ts Zaliman Sauli dan Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif He & She Coffee, Encik Zulkifli Yusuf serta kepimpinan tertinggi UniMAP.\nDengan menonjolkan hiasan dalaman kafeteria dan menu yang menarik, \u201cHe & She Coffee @ PTSFP\u201d akan dijadikan sebagai satu aset pelaburan bagi Khairul Azri Kamarudin, Mohamad Hazwan Zahari, Mohd Faizal Moin, Mohd Farhan Tugiman dan Mohd Afif Abdul Rahman, di samping menjayakan restoran berkonsepkan francais tersebut dengan pelbagai manfaat kepada mahasiswa dan masyarakat umum.\nDalam majlis tersebut, Lt Kol Prof. Dr. Ts Zaliman Sauli berkata,\nBagi meningkatkan kesejahteraan warga UniMAP, pihak universiti juga telah merancang untuk menyediakan lebih banyak kemudahan rekreasi, seperti pembangunan sekitar tasik Alumni, pembinaan laluan joging dan laluan aktiviti mendaki. Khusus untuk pelajar, UniMAP akan mewujudkan kelengkapan infra pengucapan awam dan ruang kegiatan pelajar akan diwujudkan di setiap fakulti dan kolej kediaman.\nKesemua usaha ini sedang berjalan secara berperingkat dan dijangka akan dapat disiapkan sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun yang akan datang.\nMengulas lebih lanjut, outlet ini telah menerima sokongan penuh daripada pihak Pengurusan Universiti Malaysia Perlis kerana menjadi francais yang pertama beroperasi di negeri Perlis sejak 25 April 2022 yang lalu." "Pengorbanan Besar Warga Pendidik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBachok \u2013 Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2022 pastinya tidak lengkap tanpa sesi forum yang saban tahun menjadi platform bagi golongan pendidik berkongsi pendapat dan ilmu dalam bidang masing-masing. Berpaksikan pendekatan Sekolahku SEJAHTERA seperti yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), forum ini mengupas harapan warga pendidik untuk melahirkan generasi muda yang hebat dan mampu bersaing pada peringkat dunia melalui amalan baik di sekolah.\nForum Hari Guru 2022 yang diadakan pada hari ini bertempat di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kampus Bachok menampilkan tiga orang ahli panel yang arif dalam bidang pendidikan, komunikasi dan perundangan, iaitu YBhg. Profesor Dato\u2019 Dr. Md. Amin Md. Taff, Naib Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), YBhg. Profesor Dato\u2019 Dr. Abdul Mua\u2019ti @ Zamri Ahmad, Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan YBhg. Prof. Madya Dr. Ramalinggam Rajamanickam, Pensyarah, Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Forum ini dikendalikan oleh YBrs. Dr. Mardiana Ab. Jabar, Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Warisan, Fakulti Teknologi dan Warisan, UMK.\nForum pada kali ini mengupas tentang tema hari guru tahun 2022, iaitu \u201cGuru Tunjang Sekolah SEJAHTERA\u201d. Antara inti pati perbincangan tersebut termasuklah peranan guru dalam memupuk dan membentuk masyarakat yang boleh berfikir secara rasional dan menitikberatkan keharmonian kerana guru mampu mencorakkan pemikiran murid ke arah perpaduan dan kemakmuran negara. Hal Ini boleh dicapai melalui penjiwaan terhadap 14 elemen penting dalam konsep Sekolahku SEJAHTERA yang memerlukan guru menerapkan nilai murni secara semula jadi melalui pelbagai platform komunikasi demi kelangsungan pendidikan murid.\nYBhg. Profesor Dato\u2019 Dr. Md. Amin Md. Taff, Naib Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dalam hujahnya mengatakan bahawa \u201cAdab sopan, merupakan nilai yang harus ditekankan, diterapkan, dan dikembangkan dengan sebaik-baiknya agar generasi pada hari ini menjadi generasi yang beradab dan generasi yang bersopan, seterusnya menghormati sekalian insan\u201d.\nMenurut beliau lagi, \u201cSekolah merupakan katalis pembentukan masyarakat, iaitu di sekolahlah asas ilmu kehidupan diterapkan, di sekolahlah minda generasi masa hadapan dilukiskan, di sekolahlah murid mengawal, mengenal pergaulan dan keinsanan, serta di sekolahlah kecemerlangan sesebuah negara dipertingkatkan. Sehubungan dengan itu, sekolah yang sejahtera adalah medan kelangsungan sesebuah negara dan golongan guru adalah tunjang dan pencetusnya kerana pendidikan merupakan suatu usaha yang berterusan untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari sudut rohani, jasmani, emosi dan intelek\u201d.\nSeterusnya, menurut YBhg. Profesor Dato\u2019 Dr. Abdul Mua\u2019ti @ Zamri Ahmad, Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) pula berpandangan bahawa, \u201cApa-apa yang patut dilakukan oleh guru\u00a0dalam usaha untuk mencorakkan dan mengolah pemikiran murid ke arah perpaduan negara termasuklah yang pertama, guru sendiri perlu menjadi suri teladan dalam soal perpaduan kerana kita sedia maklum bahawa pelajar atau murid itu lebih mudah mengikut apa-apa yang diteladani oleh gurunya. Yang kedua, guru itu sendiri hendaklah sentiasa mempunyai pemikiran ke arah perpaduan, sentiasa berfikir cara untuk menyatupadukan murid dan yang ketiga, guru sendiri bertindak sebagai pencetus kepada usaha perpaduan.\u201d\nTambah beliau, ketiga-tiga perkara ini dapat dizahirkan melalui penerapan nilai perpaduan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti kokurikulum di sekolah. Kebijaksanaan seorang guru itu amat penting dalam usaha memberikan pengajaran yang bermakna kepada anak muridnya. Guru mesti mampu berkomunikasi dengan baik dan boleh menyampaikan idealismenya, hasratnya dan juga perasaannya demi membantu anak muridnya itu menjadi manusia yang berguna.\nPandangan seterusnya disuarakan oleh YBhg. Prof. Madya Dr. Ramalinggam Rajamanickam, Pensyarah, Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan menyatakan bahawa dalam membentuk sahsiah dan keperibadian murid untuk mematuhi peraturan sekolah, peranan guru sangat penting. Guru bukan sahaja perlu mengajar, malah perlu memastikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjadi dasar kepada pembentukan sahsiah murid-murid di sekolah.\nMenurut beliau lagi, \u201cDari segi undang-undang, murid-murid dianggap sebagai kanak-kanak kerana mereka berumur di bawah 18 tahun mengikut lunas undang-undang. Oleh itu, kita perlu mendidik mereka seperti anak-anak kita kerana guru-guru ini dianggap sebagai ibu bapa gantian dari segi undang-undang, iaitu guru berfungsi sebagai individu yang menggantikan ibu bapa di sekolah. Maka itu, kita perlu mendidik anak-anak murid seperti mana kita mendidik anak-anak sendiri. Dalam konteks ini, pembentukan sahsiah itu amat penting kerana sahsiah inilah yang akan membangunkan negara dan bangsa kita. Tanggungjawab membentuk disiplin, membentuk sahsiah menjadi tanggungjawab kita bersama.\u201d\n\u201cOleh itu, setiap guru perlu mengetahui, memahami dan menghayati peraturan sekolah terlebih dahulu sebelum menyuruh murid-murid mematuhi peraturan sekolah.\u00a0 Penerangan untuk peraturan sekolah perlu dibuat secara berkala kepada murid-murid. Pembentukan sahsiah pada peringkat sekolah itu bermula dengan pematuhan kepada peraturan sekolah yang telah digubal. Selain itu, guru perlu mengenal pasti masalah disiplin yang kerap berlaku, kenal pasti kelompok murid yang melakukan masalah tersebut, selain menangani masalah disiplin secara berkelompok, secara khusus dan secara rinci.\u201d\nDalam sesi rumusan akhir, YBhg. Profesor Dato\u2019 Dr. Md. Amin Md. Taff mengatakan bahawa, \u201cSekolah bukan milik guru, sekolah bukan milik pengetua, sekolah juga bukanlah milik PPD, tetapi sekolah adalah milik masyarakat. Sehubungan dengan itu, bagi merealisasikan tema hari guru pada hari ini, kita perlu bersama-sama membantu kaum guru menjadikan sekolah sebagai tempat yang sejahtera kerana keadaan ini akan melahirkan ekosistem yang seimbang dan akan memberikan manfaat kepada semua. Hal ini dapat melahirkan Keluarga Malaysia yang seimbang dan berjasa kepada negara\u201d.\nTambah beliau, \u201cTiga inisiatif besar sedang dilaksanakan oleh pihak UPSI, iaitu pertama, proses pengambilan pelajar secara holistik, bukan sahaja hanya bergantung pada \u2018A\u2019 semata-mata. Kedua, UPSI telah menubuhkan sebuah pusat pembelajaran pedagogi dan inovasi pendidikan untuk guru-guru melanjutkan pelajaran atau meneruskan pengajian dan ketiga, program sukarelawan supaya ibu bapa dapat sama-sama berkhidmat di sekolah, sekali gus mampu membina jaringan dan kefahaman ibu\u00a0 bapa terhadap cabaran sebenar yang berlaku di sekolah.\u201d\nYBhg. Profesor Dato\u2019 Dr. Abdul Mua\u2019ti @ Zamri Ahmad pula merumuskan bahawa, \u201cKalau sekolah hendak SEJAHTERA, maka guru juga perlu sejahtera.\u201d Soal beliau, \u201cBagaimanakah guru hendak sejahtera? Kesampingkan, ketepikan perkara-perkara yang boleh menggugat kesejahteraan guru.\u201d Beliau turut berkongsikan sebuah hadis, sebagai peringatan kepada para guru, iaitu hadis riwayat Abu Umamah, yang bermaksud bahawa Rasulullah SAW bersabda,\u201cSesungguhnya Allah SWT, para malaikat, dan semua penduduk di langit dan di bumi, sehinggakan semut di sarangnya dan ikan (di lautan) pasti berselawat (mendoakan) kebaikan bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.\u201d Hadis riwayat al-Tirmizi, no. 2609.\nYBhg. Prof. Madya Dr. Ramalinggam Rajamanickam pula merumuskan bahawa, \u201cKalau kita boleh mendidik orang dan boleh menjadikan orang itu bangun dari aspek ekonomi, sosial dan pembangunan negara, maka kita boleh sentiasa menjaga diri kita dan sentiasa boleh memastikan diri kita bahagia. Walaupun cabarannya begitu besar, pastikan kebahagian ini sentiasa menjadi keutamaan sambil kita memenuhi aspirasi negara dan bangsa.\u201d Menurut beliau lagi, \u201cOrang yang berilmu, ilmunya tidak boleh dirampas, ilmunya tidak akan hilang, itu sebabnya tahap sanjungan kepada orang yang berilmu itu sangat tinggi. Akan tetapi, sentiasalah ingat bahawa dalam berilmu ikutlah resmi padi, iaitu semakin berisi semakin tunduk.\u201d\nSecara keseluruhannya, forum ini dapat merungkaikan tema \u201cGuru Tunjang Sekolah SEJAHTERA\u201d melalui budaya pembelajaran sepanjang hayat. Setiap guru perlu sentiasa peka akan perkembangan semasa untuk mengadaptasi teknologi dalam penyampaian ilmu dan pengukuhan pengetahuan dari semasa ke semasa. Jasa insan bergelar pendidik ini amat besar dan setiap orang mengetahui pengorbanan guru dalam mendidik, membimbing, serta membentuk keperibadian dan keterampilan anak bangsa untuk menjadi manusia berguna." "MAIPs Menyambut Ulang Tahun Kelahiran Raja Perlis ke-79\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis yang ke-79, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengadakan program \u201cWacana Wangsa Jamalullail\u201d pada esok hari di Dewan Auditorium Dr. Syed Mahmood Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.\nRaja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menghadiri program wacana ini dan sekali gus menyempurnakan Simbolik Pelancaran Garis Panduan Lagu Rasmi Negeri Perlis.\nMenurut MAIPs, program akan bermula dengan sesi lagu rasmi negeri Perlis oleh YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Seri Syed Danial Syed Ahmad, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia merangkap Ahli Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis.\nTurut mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan para tetamu kenamaan yang datang ke Perlis untuk menghadiri sambutan hari ulang tahun baginda.\nDalam majlis ini, pihak Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri akan menyampaikan slot kedua yang bertajuk \u201cPelan Pembangunan Negeri Perlis\u201c.\nBagi slot ketiga pula, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs akan menyampaikan perkongsian berkaitan dengan \u201cPelan Strategik MAIPs 2021-2025\u201c.\nTerdahulu, dalam program berasingan, Tuanku Raja dan Tuanku Raja Muda dijadualkan akan berangkat menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Pertandingan Golf Keputeraan ke-79 di Kelab Golf Putra (KGP) Perlis di Sungai Batu Pahat.\nPada 17 Mei 2022 pula akan diadakan \u201cEksplorasi Berbasikal Santai\u201d yang melibatkan penyertaan tetamu kenamaan dari luar Perlis ke kawasan Kampung Nelayan Warna-warni Program Transformasi Di Raja Seberang Ramai Kuala Perlis." "\u201cKayuhan Ceria Hari Guru\u201c Eratkan Silaturahim\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBachok \u2013 Sejarah tercatat buat warga pendidik pada hari ini menerusi program \u201cKayuhan Ceria Hari Guru\u201d sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2022 kali ke-51.\nKayuhan sejauh 20 kilometer yang disertai oleh kira-kira 500 orang peserta dalam kalangan warga pendidik serta pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan di negeri Kelantan dilakukan secara santai bersama-sama Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin.\nKayuhan Ceria Hari Guru bermula seawal 7.45 pagi dari Pejabat Pendidikan Daerah Bachok melalui kawasan di sekitar Bachok dan kayuhan berakhir di perkarangan Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan, Kampus Bachok.\nDi samping mengeratkan silaturahim dengan YB Menteri Kanan Pendidikan, program ini secara tidak langsung menggalakkan guru agar sentiasa bergiat cergas, cerdas, sihat dan ceria sepanjang masa.\nBersemangat dan ceria tengok cikgu dan warga pendidik kita berkayuh tadi. Ada yang dapat habiskan kayuhan mengikut laluan 20 kilometer dan tidak kurang juga ada yang mengambil jalan pintas. Apa-apa pun memang seronok dapat beriadah bersama-sama para cikgu dan warga pendidik KPM. Terima kasih kepada semua peserta serta penganjur. Anda semua memang terbaik.\nDemikian tulis YB Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi dalam akaun Facebooknya bagi melahirkan rasa seronok kerana dapat turun padang beriadah bersama-sama warga pendidik." "Festival Guru Malaysia: Acara Mega Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBachok \u2013 Tahun 2022 memperlihatkan Universiti Malaysia Kelantan, Bachok, Kelantan terpilih sebagai lokasi untuk meraikan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan. Pagi ini, berlangsungnya perasmian Majlis Apresiasi Festival Guru Malaysia 2022, suatu acara mega sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-51. Sambutan Hari Guru pada tahun ini julung kalinya diadakan di Kelantan dengan tema \u201cGuru Tunjang Sekolah SEJAHTERA\u201d. Festival Guru Malaysia yang bermula pada 12 Mei 2022 lalu diisi dengan pelbagai kegiatan dan pameran, khususnya pameran yang berkaitan dengan dunia pendidikan profesion keguruan.\nPada pagi ini, Majlis Apresiasi Festival Guru Malaysia 2022 telah dirasmikan oleh YB Senator Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan. Dalam ucapannya, beliau menjelaskan dalam melaksanakan kerja, secara kebiasaannya kita mengikut teori motivasi yang mempengaruhi seseorang bekerja dengan baik. Teori itu seharusnya dipegang oleh setiap individu agar dapat melaksanakan kerjanya dengan tekun, seterusnya memberikan hasil kerja yang baik dan sempurna.\nSebaliknya, teori yang mengaitkan amalan bekerja dengan penuh keikhlasan dan kejujuran pula menunjukkan hubungan pekerja itu dengan Tuhan bagi memperoleh keberkatan daripada hasil kerjanya. Melakukan kerja yang terbaik atas nama amanah yang diletakkan di atas bahu kita, yang pada khirnya nanti kerja itu akan memberikan suatu kepuasan motivasi intrinsik untuk membolehkan kita terus melaksanakan yang terbaik.\nMenurut YB Datuk Dr. Radzi Jidin lagi, dalam pendidikan, yang paling penting untuk dijadikan terapi dalam kerjaya sebagai guru ialah keikhlasan dan kejujuran. Lantaran itu, dalam majlis apresiasi seperti yang berlangsung pada hari ini, kementerian akan memastikan usaha yang dilakukan oleh guru bukan setakat di sekolah tempatnya mengajar, malahan harus dikembangkan ke sekolah lain jika ada yang bersesuaian, terutamanya pendekatan yang tidak memerlukan kos yang tinggi serta dapat dilaksanakan dengan cepat dan mudah.\nTambah beliau, hal ini penting supaya peranan guru terus signifikan dalam usaha melahirkan generasi yang mampu bersaing pada peringkat dunia. Anugerah apresiasi pula merupakan asas kecil untuk kita mewujudkan suatu budaya baharu supaya guru dan pelajar dapat membentuk ekosistem pendidikan yang boleh melahirkan modal insan yang hebat dan mampu bersaing dengan sesiapa sahaja.\nSebelum itu, ucapan alu-aluan disampaikan oleh Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), iaitu Tuan Haji Aminudin Adam. Dengan nada penuh gembira dan rasa syukur, beliau menyatakan, \u201cFestival ini memberikan peluang kepada semua pihak untuk berkongsi maklumat dan pengalaman. Seharusnya, festival ini diteruskan acaranya setiap kali sambutan hari guru sebagai usaha mengangkat prestij profesion keguruan.\u201d\nBagi pihak YGMB, beliau berasa bangga kerana YGMB berjaya menganjurkan festival yang berkonsepkan kesepaduan dan permuafakatan, dan beliau berharap agar festival ini dapat menambahkan lagi kemeriahan sambutan Hari Guru yang disambut pada 16 Mei setiap tahun. YGMB juga akan terus komited membantu kebajikan guru dan meningkatkan profesionalisme guru di Malaysia. Yang pasti, YGMB akan sentiasa membuat penambahbaikan demi kebajikan dan kesejahteraan para guru.\nFestival yang berlangsung selama lima hari ini mendapat sokongan padu daripada pihak swasta dan sektor korporat seperti Bank Simpanan Nasional, Celcom, Sharp, Perodua, Bank Islam Malaysia Berhad, Nestle dan McDonald, termasuklah kesatuan guru, wakil institusi pengajian tinggi awam dan swasta.\nDalam majlis yang sama turut disampaikan pelbagai anugerah kepada guru yang telah memulakan inisiatif dan usaha untuk melakukan yang terbaik dalam memenuhi tanggungjawab sebagai guru. Anugerah ini juga rentetan rasa kecintaan guru terhadap profesion perguruan supaya anak didik generasi pewaris negara dapat dilahirkan, seterusnya mampu bersaing pada peringkat dunia. Inisiatif dan usaha ini juga dilakukan dengan penuh rasa keikhlasan dan kejujuran untuk melihat anak didik mereka memperoleh kecemerlangan.\nAntara anugerah yang diberikan termasuklah anugerah tajaan YGBM seperti Anugerah Khas Pendidikan dan Anugerah Guru Inovatif (tajaan YGBM), Anugerah Guru Cemerlang dan Anugerah Ikon (tajaan Bank Islam Malaysia Berhad), Anugerah Ikon Guru Kurikulum dan Sukan (tajaan Nestle) dan Anugerah Cikgu Juara Digital (tajaan Perbadanan Kemajuan Multimedia). Acara lain yang turut mengisi festival ini ialah penyampaian Hadiah Cabutan Apresiasi Ahli YGMB Festival Guru Malaysia 2022 kepada Nuraizila Mohd Radi dari Sekolah Kebangsaan Chembong, Negeri Sembilan yang memenangi sebuah kereta Perodua Myvi tajaan Perodua.\n\nAcara pagi tadi diserikan dengan persembahan biola oleh Akmal Danial yang menjadi Ikon Teknik dan Vokasional Malaysia 2012-2018 dan Ikon Yayasan Pelajaran Johor 2019-2022 serta persembahan daripada artis Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kelantan dan persembahan nyanyian lagu \u201cBudaya Kelantan\u201d oleh Poyie Gasi.\nYBhg. Datuk Hajah Nor Zamani Abdol Hamid, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia turut menghadiri majlis perasmian yang dihadiri 16 kontinjen yang mewakili Pejabat Pendidikan Daerah dari seluruh negara." "Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu: Himpunan Pelbagai Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2014 Sebagai usaha berterusan dalam memartabatkan bahasa Melayu di negara ini dan memperluas penggunaannya pada peringkat ASEAN dan antarabangsa, Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), akan menganjurkan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang akan dijadualkan pada 22 Mei 2022 hingga 24 Mei 2022.\n\u00a0\nMenurut kenyataan yang dikeluarkan menerusi Facebook rasmi Pejabat Perdana Menteri, simposium selama tiga hari itu akan berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur dan bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, pada 22 Mei 2022, pukul 8.30 pagi hingga 9.30 pagi. Sementara itu, majlis penutupannya dijadualkan pada 24 Mei 2022, pukul\u00a0 5.00 petang hingga 6.30 petang yang akan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Seri Mohd Zuki Ali. \nSimposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang bakal berlangsung buat julung-julung kalinya ini akan menyaksikan tiga ucap utama, 15 sidang membabitkan pembentangan kertas kerja oleh 60 tokoh dari Malaysia, negara-negara ASEAN dan antarabangsa, serta dua forum melibatkan 12 tokoh. Simposium ini juga akan diserikan dengan pelbagai program lain dalam kerangka untuk memartabatkan bahasa Melayu di dalam negara dan memperluas penggunaannya pada peringkat ASEAN dan antarabangsa seperti pameran, sayembara dan debat." "Tema Sambutan Hari Guru 2022 Selaras dengan Konsep Sekolahku SEJAHTERA -YB Menteri Kanan Pendidikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBachok \u2013 Majlis sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan pada tahun ini berlangsung di Dewan Canselori, Universiti Malaysia Kelantan. Pemilihan Kelantan sebagai lokasi majlis sambutan hari guru merupakan yang pertama kali bagi negeri yang terkenal dengan gelaran \u201cserambi Mekah\u201d itu. Sebelum berlangsungnya perasmian Hari Guru yang disambut pada hari ini, pihak urus setia sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan telah mengadakan beberapa aktiviti bagi mengisi jadual sambutan selama lima hari, antaranya termasuklah forum, penyampaian anugerah dan Festival Guru Malaysia, yang diadakan khusus untuk menghargai jasa dan sumbangan warga pendidik.\nPada pagi ini, acara kemuncak sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ialah perasmian sambutan Hari Guru yang diraikan pada 16 Mei pada setiap tahun. Pada tahun ini, \u201cGuru Tunjang Sekolah SEJAHTERA\u201d dijadikan tema sambutan Hari Guru. Berdasarkan tema tersebut, Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin menjelaskan ungkapan \u201cSEJAHTERA\u201d yang terangkum dalam tema Hari Guru itu merupakan ungkapan yang selaras dengan konsep \u201cSekolahku SEJAHTERA\u201d. Konsep \u201cSekolahku SEJAHTERA\u201d yang dilancarkan pada 21 Februari 2022 telah dirangka berteraskan prinsip dan hasrat bagi mewujudkan suasana sekolah yang selamat, aman, selesa, menggembirakan, membina dan inklusif ke arah mencapai kesejahteraan masyarakat.\nSehubungan dengan hal itu, \u201cSEJAHTERA\u201d yang terdapat pada tema Hari Guru pada tahun ini merupakan konsep yang bermatlamat untuk menjadikan murid sekolah sebagai pewaris negara yang memahami dan menghayati beberapa konsep penting dalam kehidupan. Menurut YB Datuk Dr. Radzi, \u201cDalam konsep SEJAHTERA, ada 14 elemen nilai kehidupan, dan setiap huruf dalam konsep itu mempunyai elemen tertentu.\u201d\nTambah beliau, \u201cBukan bermakna hanya 14 elemen dalam kehidupan yang harus dihayati dan difahami serta diaplikasikan oleh murid, tetapi sekurang-kurangnya apabila murid sudah keluar daripada sistem persekolahan nanti, mereka dapat memahami dan menghayati nilai-nilai penting dalam kehidupan mereka. Melalui konsep SEJAHTERA, diharapkan mereka benar-benar memahami dan menerapkan nilai tersebut dalam kehidupan, khususnya apabila mereka tamat persekolahan.\nSecara khusus, YB Datuk Dr. Radzi menjelaskan bahawa terdapat 14 elemen yang terkandung dalam konsep \u201cSEJAHTERA\u201d, iaitu selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi. Kesemua elemen tersebut akan diterapkan secara langsung dan tidak langsung oleh guru dan murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran, termasuklah semasa melakukan aktiviti kokurikulum di sekolah. Kesemua elemen itu juga akan diterapkan seawal prasekolah dan diteruskan sehingga ke peringkat sekolah menengah. Atas kewajaran itulah, tema Hari Guru pada tahun ini ialah \u201cGuru Tunjang Sekolah SEJAHTERA\u201d\nDalam ucapannya juga, YB Datuk Dr. Radzi\u00a0 menyatakan bahawa setelah mengadakan sesi libat urus dengan pentadbir sekolah, suatu keputusan telah dibuat berkaitan dengan penetapan jadual sekolah. Berdasarkan ketetapan tersebut, pihak KPM akan menyediakan satu platform atau aplikasi khas yang akan digunakan oleh semua sekolah untuk membuat penyusunan jadual sekolah, terutamanya bagi membantu sekolah yang mempunyai bilangan murid dan kelas yang banyak. Beliau yakin, sistem ini akan memudahkan pihak pentadbiran sekolah membuat penetapan jadual kelas.\nSelain itu, YB Datuk Dr. Radzi turut menekankan soal kekuatan struktur sesebuah sistem, iaitu merujuk struktur yang menunjangi KPM. Secara analogi, beliau menyatakan bahawa rumah yang tidak betul strukturnya, walaupun cantik hiasannya dan mewah kelengkapannya, akan tetapi rumah itu tetap senget dan berkemungkinan roboh jika strukturnya tidak betul dan tidak mantap. Maka itu, KPM mahu membetulkan struktur dalamannya dengan mengadakan bengkel bagi menambah baik struktur sedia ada. Melalui bengkel tersebut, KPM berharap apa-apa juga kekurangan dan kelemahan sebelum ini dapat dimantapkan bagi menjamin setiap perancangan yang dirangka oleh KPM dapat dilaksanakan dengan lancar dan mendatangkan hasil seperti yang diharapkan oleh setiap warga pendidik, khususnya dan masyarakat amnya." "\u201cTerima kasih, cikgu.\u201d \u2013 YB Menteri Kanan Pendidikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBachok \u2013 Tarikh 16 Mei 2022 menjadi hari yang bersejarah dan penuh makna bagi negeri Kelantan kerana pada pagi ini berlangsungnya sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-51 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ini julung kalinya diadakan di Kelantan Darul Naim. Sambutan yang khusus diadakan untuk meraikan jasa dan sumbangan guru ini berlangsung dalam suasana meriah setelah dua tahun tidak diadakan perhimpunan guru ekoran pandemik COVID-19. Majlis pada pagi ini juga memberikan pengiktirafan kepada individu yang layak menerima pengiktirafan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan.\nBerucap di hadapan khalayak yang terdiri daripada warga pendidik di Dewan \u00a0Canselori, UMK, Menteri Kanan Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Datuk Dr. Radzi Jidin kedengaran beberapa kali menyebut ungkapan \u201cTerima kasih, cikgu\u201d. Sememangnya pada tarikh 16 Mei, ungkapan tersebut seharusnya diucapkan tanpa jemu kepada sesiapa sahaja yang bergelar pendidik, terutamanya mereka yang berkerjaya sebagai guru dan dipanggil cikgu. \nSebagai pembuka ucapannya, YB\u00a0Datuk Dr. Radzi Jidin menyatakan, \u201cSetiap daripada kita pasti telah disentuh hatinya oleh insan yang dipanggil cikgu. Semasa bertugas di sekolah, mereka yang berjawatan guru ini dipanggil cikgu. Selepas bersara, mereka juga masih dipanggil cikgu. Maknanya, itulah gambaran atau manifestasi betapa dekatnya guru dengan masyarakat sehinggakan selepas tidak mengajar di sekolah pun, guru yang sudah bersara masih dipanggil cikgu, terutama oleh individu yang pernah menerima didikan daripada guru berkenaan. Terima kasih, cikgu.\u201d\nMenyentuh tentang kerjaya guru pula, YB Datuk Dr. Radzi menegaskan,\nBetapa besarnya jasa dan pengorbanan guru kerana gurulah yang menjadi orang pertama yang mengajar dan mencorakkan pemikiran kita. Oleh sebab itu, guru merupakan profesion yang sangat dihormati oleh masyarakat, terutama melalui sumbangan mereka dalam pembangunan masyarakat, negara dan tamadun. Maka itu, tarikh 16 Mei dipilih dan ditetapkan sebagai Hari Guru untuk meraikan pendidik yang telah mencorakkan masa hadapan negara \u00a0dengan acuan didikannya. Terima kasih, cikgu!\nMenteri Kanan Pendidikan juga turut berkongsi perasaannya, terutama pada sambutan Hari Guru tahun ini. \u201cHari Guru merupakan hari yang cukup menyentuh jiwa. Itulah yang saya rasainya selama dua tahun menduduki tampuk tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Saya mula bertugas semasa negara bergelut dengan pandemik COVID-19. Saya berdepan dengan keadaan dunia pendidikan yang dibebani masalah pengajaran dan pembelajaran semasa pandemik COVID-19 kerana pada ketika itu, aktiviti bersemuka tidak dibenarkan, namun pembelajaran murid perlu diteruskan dari rumah. Itulah beban yang saya pikul dalam tempoh yang sukar dua tahun yang lalu, terutama dalam menyediakan pelan dan rancangan pengajaran dan pembelajaran dari rumah. Namun begitu, saya amat bersyukur kerana atas kesabaran dan komitmen para guru, anak murid masih dapat belajar dengan baik dan\u00a0masih menerima ajaran daripada cikgu walaupun pengajaran dan pembelajaran berlangsung dalam suasana kebiasaan baharu kesan daripada pandemik COVID-19. Terima kasih, cikgu kerana kita berjaya melalui tempoh yang sukar pada ketika itu.\u201d \nSetelah bergelut dengan situasi sukar selama dua tahun, maka pada 21 Mac 2022, sekolah dibuka semula dan murid belajar di sekolah secara bersemua. Kemudian, pada April 2022, pihak kementerian menamatkan sistem penggiliran ke sekolah, dan akhirnya pada Mei 2022, operasi sekolah berlangsung seperti biasa, iaitu sebelum dilanda pandemik COVID-19, namun harus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan. \u201cJadi, terima kasih cikgu kerana menunggu di pagar sekolah bagi memastikan sop dipatuhi dan murid\u00a0berada dalam keadaan sihat untuk belajar di sekolah, serta memastikan garis panduan yang ditetapkan oleh KPM dapat dilaksanakan oleh warga pendidik seperti yang dirancang. Terima kasih, cikgu,\u201d demikianlah ungkapan terima kasih yang disebut beberapa kali oleh Menteri Kanan Pendidikan, yang mewarnai ucapan perasmiannya sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan pada tahun ini.\nExco Pendidikan Negeri Kelantan turut hadir bersama-sama dengan Timbalan Ketua Setiausaha, KPM\u00a0dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dalam majlis ini. Sebelum ucapan perasmian sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan oleh Menteri Kanan Pendidikan, telah berlangsung lafaz ikrar guru yang diketuai oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datin Sri Hajah Nor Zamani Abdol Hamid bersama-sama dengan barisan pengurusan tertinggi KPM. Majlis turut diserikan dengan deklamasi puisi dan persembahan nyanyian lagu dalam dialek Kelantan yang membuka tirai majlis perasmian sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan." "Wacana Wangsa Jamalullail Siri III: Raja Perlis Perkenan Garis Panduan Tatacara Lagu Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat ke majlis Wacana Wangsa Jamalullail Siri III bagi menyempurnakan pelancaran Garis Panduan Tatacara Memainkan dan Menyanyikan Lagu Rasmi Negeri Perlis Aamiin-aamiin\u00a0pada hari ini.\nMajlis Wacana Wangsa Jamalullail Siri III anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) adalah bersempena dengan sambutan ulang tahun keputeraan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang ke-79.\nDalam majlis tersebut, YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Seri Syed Danial Syed Ahmad, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu Malaysia merangkap Ahli Jawatankuasa MAIPs menyampaikan dan memerihalkan lagu kebesaran negeri Perlis melalui pembentangan \u201cSesi Lagu Rasmi Negeri Perlis\u201d.\nMenurut beliau, setiap negeri atau negara mempunyai tiga jati diri yang lazim, iaitu bendera (sebagai keperibadian negeri/negara), jata dan lagu negeri.\n\u201cLagu ini telah diperkenankan oleh Raja Syed Alwi Jamalullail. Pada peringkat awal, lagu ini dikenali dengan nama \u2018Puji Raja\u2019 dan kemudian ditukar kepada nama Aamiin-Aamiin yang membawa maksud \u2018perkenankanlah kehendaknya, Ya Allah\u2019.\n\u201cTerdapat juga perubahan pada perkataan \u2018Rabbal Jalil\u2019 kepada \u2018Rabbil Jalil\u2019 pada seni katanya mengambil kira ketepatan tatabahasa Arab,\u201d kata YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Seri Syed Danial ketika majlis berlangsung di Auditorium Dr. Syed Mahmood, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Jalan Raja Syed Alwi, Kangar, Perlis pada petang tadi.\nPengarah Bahagian Perkhdimatan Muzik RTM, YBhg. Datuk Mokhzani Ismail dalam majlis tersebut menghadap dan mempersembahkan skor gubahan lagu Aamiin-aamiin ke hadapan DYMM Raja Perlis.\nBagi memperkukuh jati diri menerusi lagu Perlis, Enakmen Lagu Perlis 2021 telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Perlis pada 9 Disember 2021 dan diperkenankan oleh DYMM Tuanku Raja Perlis pada 25 Januari lalu.\nSelain itu, garis panduan berkenaan turut menjelaskan bahawa Seksyen 4 Enakmen Lagu Negeri Perlis 2021 menetapkan semua yang mendengar agar berdiri sebagai tanda hormat dengan berdiri dalam keadaan sedia, kepala menunduk sedikit bagi menunjukkan sikap merendah diri, sesuai dengan isi kandungan lagu.\nWalau bagaimanapun, tatacara berkenaan dikecualikan ketika meraikan kemenangan dalam program sukan atau ketika Bendera Negeri sedang dinaikkan.\nKeberangkatan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ke majlis ini turut diiringi oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah, YAM Sharifah Farah Adriana dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra.\nTurut diadakan ialah pembentangan \u201cPelan Pembangunan Negeri Perlis\u201c oleh Encik Rusdi Yahya, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Perlis dan \u201cPelan Strategik MAIPs 2021-2025\u201c yang dikongsikan oleh Haji Mohd. Nazim Mohd. Noor, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs.\nDalam sesi pembentangan berkenaan, Encik Rusdi Yahya berkata, negeri Perlis berpotensi besar dalam pembangunan ekonomi yang sangat luas kerana Perlis terletak dalam satu kawasan segi tiga sektor pembangunan, iaitu Indonesia, Malaysia, Thailand yang disebut sebagai IMT-GT, seiring dengan aspirasi DYMM Tuanku Raja Perlis dan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis dalam memajukan pelbagai sektor.\nSementara itu, Ustaz Haji Mohd Nazim Mohd. Noor, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs berkata bahawa MAIPs menyokong penuh usaha kerajaan dalam memberikan impak positif kepada seluruh masyarakat negeri Perlis. Oleh itu, MAIPs akan memastikan pemantapan agihan zakat secara holistik kepada golongan sasar.\nMengulas lebih lanjut, Wacana Wangsa Jamalullail Siri III menunjukkan bahawa Garis Panduan Lagu Rasmi Negeri Perlis diberikan penekanan kepada dua versi lagu, iaitu Versi DiRaja (lagu negeri tanpa nyanyian yang hendaklah dimainkan pada mana-mana peristiwa sebagaimana yang diperkenankan oleh Tuanku Raja), manakala versi penuh, iaitu lagu negeri dengan nyanyian yang boleh dimainkan dan dinyanyikan pada majlis rasmi atau separa rasmi bagi maksud menghormati lagu negeri, termasuklah di sekolah atau majlis.\nSalam Perlis, Raja Berdaulat, Rakyat Berilmu, Negeri Sejahtera, Perlis Maju!" "Kenali Kamus dan Majalah Terbitan DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBeluran \u2013 Program Bersahabat dengan Kamus (BdK) siri yang ke-6 dan Majalah dalam Kelas (MDK) siri pertama yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) berjaya dilaksanakan dengan kerjasama SK Sualok.\nProgram yang disertai oleh 190 orang murid dan 15 orang guru ini diadakan di SK Sualok dan turut dihadiri oleh pelajar dari SK Lidong, SK Ladang Sabapalm, SK Tagas-Tagas, SK Pamol, SK Nangoh dan SK Basai Baru bersama-sama guru pengiring masing-masing.\n\u00a0\nProgram yang berlangsung selama tiga jam ini disampaikan oleh Puan Julianah Kuli, Ketua Unit Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBPCS untuk Program Bersahabat dengan Kamus dan Encik Mohd Fazrin Jaimat, Ketua Unit Pemasaran dan Pengedaran untuk program MDK.\nAntara objektif program ini termasuklah untuk meningkatkan penguasaan kosa kata bahasa kebangsaan melalui kamus dan menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan dan mudah dengan maklumat menarik dan interaktif yang terkandung di dalam majalah.\nPuan Jahalah Hammid, iaitu Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Sualok dalam ucapan alu-aluannya berharap agar program ini dapat memberikan pendedahan kepada pelajar dan guru tentang fungsi kamus, cara menggunakan kamus, keistimewaan majalah terbitan DBP dan sekali gus menyemai semangat cinta akan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar dan guru. Pihak sekolah juga berharap agar program seumpama ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang.\nSelain itu, DBPCS turut mengadakan jualan buku terbitan DBP, sesuai dengan satu daripada objektif kedua-dua program tersebut, iaitu mempromosikan kamus dan majalah terbitan DBP. Jualan buku DBP mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada para pelajar, ibu bapa dan guru-guru yang hadir." "Sebanyak 52 Sertai Kejohanan Golf Sempena Ulang Tahun Raja Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Sebanyak 52 orang peserta mengambil bahagian dalam Kejohanan Golf bersempena dengan Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang ke-79 di Kelab Golf Putra (KGP) Perlis, Sungai Batu Pahat pada pagi semalam.\nMajlis tersebut telah disempurnakan oleh DYMM Tuanku Raja Perlis bersama-sama Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Presiden KGP Perlis.\nBaginda berkenan berangkat menyempurnakan majlis penyampaian hadiah, serta menyampaikan hadiah kepada para pemenang.\nPemenang bagi kejohanan berkenaan ialah Fauzi Osman yang berjaya mendapat pukulan Hole in One pada lubang Nombor 4.\nSelain itu, beberapa pertandingan sukan lain akan turut dilaksanakan bersempena dengan sambutan hari ulang tahun baginda pada kali ini. Antaranya termasuklah Kejohanan Woodball Terbuka UiTM Cawangan Perlis 2022 yang berlangsung dari 19 Mei 2022 hingga 22 Mei 2022 dan Kejohanan Ragbi Diraja Perlis Terbuka 7 Sepasukan (Perlis Royal 7s) 2022 dengan acara penutup pada 29 Mei ini." "Guru Tunjang Pendidikan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menitahkan ucapan \u201cSelamat Menyambut Hari Guru\u201d kepada seluruh warga pendidik dengan ucapan tahniah dan terima kasih kerana sentiasa memberikan komitmen dan dedikasi yang tinggi terhadap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan bagi mendidik anak bangsa.\nBaginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berjumlah RM21 000 kepada sebanyak 30 orang asnaf terpilih dengan masing-masing menerima RM700 setiap seorang dalam kalangan anak kariah Masjid Nurul Iman, Kampung Nesam untuk diagihkan oleh amilnya, iaitu Nasir Yahya.\n\u201cJika hari ini murid ceria, gurulah penyerinya. Jika hari ini murid bijak membaca, menulis dan mengira, maka gurulah pembimbingnya dan jika hari ini murid lulus peperiksaan, maka guru juga yang paling gembira. Namun perlu juga diingati, jika suatu hari nanti generasi muda kita rendah sahsiahnya, maka guru jugalah yang akan ditanya. Sesungguhnya, gurulah pendorong utama dalam semua aspek, bukan hanya akademik semata-mata. Bahkan, keutuhan peribadi generasi muda yang bakal menerajui kepimpinan negara pada masa depan dicorakkan oleh guru-guru,\u201d titah baginda lagi.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berharap agar sambutan Hari Guru pada tahun ini akan terus meniupkan roh dan semangat serta memperkukuh azam kepada semua warga pendidik untuk terus berbakti dalam sektor pendidikan serta meningkatkan kualiti diri dan kualiti pendidikan di negeri Perlis.\nSelain itu, baginda turut menyeru seluruh warga pendidik agar terus mendokong dan memartabatkan Perlis sebagai sebuah negeri yang mendaulatkan ilmu.\nUntuk rekod, tema ulang tahun Hari Guru yang disambut pada tahun ini ialah \u201cGuru Tunjang Sekolah SEJAHTERA.\u201d" "Guru Membentuk Jiwa Remaja\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIsu yang berkaitan dengan remaja khususnya murid di sekolah dapat dikupas dan diulas dari pelbagai perspektif. Remaja pada zaman dahulu dengan remaja sekarang memiliki banyak perbezaan terutamanya dalam hal yang berkaitan dengan gaya hidup, pandangan dan juga hubungan persahabatan.\nDalam hal ini, guru berperanan besar dalam membentuk jiwa remaja agar mereka mempunyai jati diri, semangat patriotisme, mencintai bahasa serta budaya. Hal ini disebabkan guru mempunyai tanggungjawab besar dalam mendidik, mengasuh dan mengajar mereka ke arah kebaikan dengan pengalaman dan kepakaran yang sedia ada.\nSeorang guru yang memiliki pengaruh, personaliti, budi bahasa yang baik sewajarnya menjadi ikutan para muridnya. Tujuan profesion keguruan bukanlah semata-mata untuk menyampaikan ilmu pengetahuan, namun yang paling penting mampu mengubah kelakuan seseorang daripada buruk kepada baik selain menyuntik semangat dan daya saing yang tinggi dalam kalangan muridnya.\nBegitu juga dengan remaja yang disifatkan sebagai aset penting negara dalam membentuk masyarakat berilmu pada masa akan datang. Kajian dari segi psikologi pendidikan, ibu bapa berperanan penting dalam usaha memberikan pendidikan terhadap anak-anak seawal umur tujuh hingga 12 tahun. Kerjasama erat antara guru dengan ibu bapa dapat mendidik jiwa anak-anak supaya lebih bersemangat untuk belajar mencari ilmu, berjiwa patriotik, kental dan beriman.\nMemetik pandangan Hassan al-Bana yang mengatakan,\nSatu daripada penyelesaian daripada penyakit jiwa termasuklah didikan ibu bapa dan guru, selain adanya rakan dan saudara yang suka memberikan nasihat, iaitu orang yang empati sehingga dia mahu memberitahu perihal kekurangan dan kelebihan kepada kamu.\nMenurut Plato, tokoh falsafah Yunani menjelaskan bagi jiwa yang berkemahuan untuk menjadi lebih baik, mereka tidak memerlukan nasihat. Oleh itu, nasihat yang baik perlu diberikan kepada semua remaja oleh ibu bapa, guru dan masyarakat dalam mendidik remaja ke arah kemajuan dan mempunyai jati diri unggul.\nIbu bapa sering mengeluh kerana sukar untuk memahami jiwa anak-anak remaja. Hal ini mungkin disebabkan suatu ketika dahulu mereka dibesarkan dalam suasana yang berlainan dengan suasana sekarang. Pengaruh teknologi digital menjadikan ibu bapa dan guru agak sukar untuk memahami jiwa remaja. Dalam hal ini, mereka perlu menganggap anak-anak remaja sebagai teman rapat dan menjadikan guru sebagai rujukan utama. Didiklah anak-anak supaya berjiwa besar, bersemangat kental dan berfikiran positif.\nBanyak kes melibatkan remaja, iaitu pergaulan bebas yang mengundang pelbagai kes jenayah, terlibat dengan perlumbaan haram, memandu tanpa lesen, mengambil risiko yang membahayakan diri yang pada akhirnya menyusahkan ibu bapa. Kerjasama antara ibu bapa dengan guru sangat penting dalam memahami dan membentuk jiwa remaja ke arah berilmu, beriman, bertakwa dan berakhlak.\nDalam hal ini, dunia pendidikan mampu melahirkan remaja yang sentiasa menjaga kehormatan diri, memelihara amanah, menepati janji dan menjaga waktu solat. Naluri ingin mencuba perkara baharu dalam hidup merupakan situasi normal bagi remaja yang berusia 13 hingga 17 tahun. Perasaan mereka juga sering berubah-ubah sehingga menyebabkan pelbagai kes seperti lari dari rumah, terlibat dengan seks bebas, merokok dan penyalahgunaan dadah. Persahabatan dan keakraban remaja dengan rakan sebaya mereka juga harus sentiasa dipantau oleh ibu bapa. Kerjasama ibu bapa dengan guru juga dapat memantau kegiatan dan minat golongan remaja. Hubungan persahabatan sesama remaja penting dalam perkembangan mereka kerana persahabatan merupakan titik mula dan asas dalam membentuk pembelajaran dan perkembangan jiwa yang sihat, sekali gus\u00c2\u00a0 terhindar daripada perbuatan yang tidak diingini.\nKesan budaya dari Barat dan terkini Korea ke atas remaja juga mempengaruhi jiwa remaja. Budaya dikaitkan dengan cara hidup sesuatu masyarakat. Oleh itu, golongan remaja perlu mengamalkan budaya yang positif bagi membentuk kehidupan sosial yang baik sesama anggota masyarakat. Mereka tidak perlu meniru budaya orang lain kerana budaya kita amat kaya dengan nilai-nilai murni dan kesopanan. Budaya dan nilai murni yang baik perlu diwujudkan dalam kalangan remaja demi melahirkan remaja yang mempunyai jiwa yang tenteram, emosi yang seimbang, akhlak dan tatasusila yang baik. Ilmu pengetahuan tentang pemahaman agama, jati diri dan sejarah negara juga amat penting untuk diterapkan dalam kehidupan remaja.\nBudaya remaja di negara ini banyak dipengaruhi oleh budaya luar yang tidak dapat dikawal terutamanya melalui teknologi digital, filem dan televisyen. Hanya remaja yang mempunyai keimanan, jati diri dan akal budi yang mantap mampu mengelakkan diri daripada terjebak dengan budaya luar yang mampu mempengaruhi tingkah laku dan jiwa mereka. Oleh sebab itu, golongan remaja mudah terpengaruh dengan gaya hidup yang tidak sihat jika tidak dikawal dengan sebaik-baiknya.\nAspek pendidikan melalui pendekatan dakwah yang berhemah dapat menarik remaja membentuk jati diri dengan gaya hidup yang berteraskan budaya kebangsaan. Pengaruh budaya merupakan aspek yang paling kuat menarik remaja ke arah mengamalkan gaya hidup baharu yang bercanggah dengan norma kehidupan.\nKebanyakan golongan remaja dilihat menghabiskan masa dengan telefon pintar, peranti dengan pelbagai permainan melepak di gerai, kafe dan restoran. Banyak masa dihabiskan dengan sia-sia tanpa melakukan perkara yang bermanfaat untuk masa depan mereka. Kegiatan dan hiburan tanpa kawalan akan menjejaskan kehidupan dan masa depan mereka. Hiburan tanpa kawalan juga menjadikan remaja lalai, alpa dan tidak mempunyai arah tujuan kehidupan yang sebenar. Hal ini jika terjadi akan menghancurkan harapan ibu bapa yang menginginkan anak-anak mereka berjaya menggapai cita-cita dan memiliki kerjaya idaman.\nPada akhirnya, perhatian yang lebih berfokus harus diberikan oleh ibu bapa dan guru bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku terhadap anak-anak yang masih remaja. Peranan dan kerjasama erat antara ibu bapa dengan guru penting dalam mengelakkan murid terlibat dalam gejala sosial dan budaya negatif sehingga menghancurkan masa depan dan cita-cita mereka." "Timbalan Menteri Luar Negeri Mengadakan Lawatan Kerja ke Republik Uzbekistan dan Republik Kazakhstan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Timbalan Menteri Luar Negeri, YB Dato\u2019 Kamarudin Jaffar bakal mengadakan lawatan kerja ke Republik Uzbekistan pada esok hari hingga 21 Mei 2022 diikuti dengan lawatan ke Republik Kazakhstan bermula pada 22 Mei hingga 25 Mei 2022.\nTimbalan Menteri akan diiringi oleh pegawai Kementerian Luar Negeri (KLN) sepanjang lawatan tersebut dan beliau akan mengikuti beberapa aktiviti rasmi di kedua-dua buah negara seperti yang dijadualkan.\nDi Uzbekistan, Timbalan Menteri dijadualkan untuk membuat kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Perdagangan Luar dan Pelaburan, Pemangku Menteri Luar Negeri serta Speaker Dewan Rakyat Uzbekistan.\nSementara itu, beliau akan bertemu dengan rakan sejawat dan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri (Menteri Perdagangan dan Integrasi) serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa dan Pertahanan di Kazakhstan.\nLawatan kerja ini bertujuan untuk mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada yang memberikan manfaat pada Malaysia dan negara tersebut, dalam masa yang sama meneroka sinergi strategik baharu dalam sektor perdagangan dan pelaburan, pendidikan, kebudayaan, pelancongan, bantuan kerjasama teknikal dan kerjasama kesihatan.\nSelain itu, lawatan ini turut diadakan agar Malaysia dapat bertukar-tukar pandangan mengenai isu semasa pada peringkat serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.\nDalam tempoh Januari hingga Oktober 2021, kedua-dua buah negara Asia Tengah ini masing-masing merupakan rakan dagang Malaysia terbesar dan kedua terbesar, iaitu Kazakhstan, dengan jumlah perdagangan berjumlah RM359.79 juta dan Uzbekistan dengan jumlah RM187.82 juta.\nTahun 2022 merupakan ulang tahun ke-30 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan dua buah negara Asia Tengah tersebut." "Majlis Santapan Malam Bersempena dengan Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis ke-79\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Malam bersempena dengan Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-79 di Balai Bankuasi Istana Arau pada Selasa malam.\nBerangkat sama mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.\n\nDalam titah baginda, Tuanku Raja Perlis bersyukur dan mengucapkan tahniah kepada kerajaan baginda serta pelbagai agensi dan organisasi yang terlibat atas usaha berterusan membangunkan negeri ini dan membantu rakyat, terutama ketika pandemik COVID-19 melanda dunia.\nSepertimana komen-komen positif mengenai negeri Perlis, baginda juga melihat kehidupan rakyat di negeri ini semakin baik. Sektor perniagaan khususnya kedai makan kini semakin rancak dan baginda berharap agar usaha-usaha membangunkan negeri ini dapat diteruskan.\n\nTuanku Raja dan Tuanku Raja Perempuan Perlis turut berkenan memotong kek yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob.\nBaginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua tetamu yang hadir dari jauh dan dekat untuk sama-sama meraikan istiadat yang disempurnakan pada sebelah pagi.\nPada masa yang sama, baginda juga menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada seluruh rakyat jelata yang sentiasa mendoakan baginda seisi keluarga supaya terus dilimpahi berkat, kebahagiaan dan juga rahmat serta dikurniakan kesihatan dan keselamatan yang berpanjangan." "Dampak Pembangunan Ekonomi Sabah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2021, Perdana Menteri Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa kerajaan pimpinannya akan memberikan perhatian yang serius terhadap isu kepentingan dan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam persekutuan Malaysia. Komitmen yang diberikan oleh Perdana Menteri ternyata disambut baik oleh banyak pihak kerana Rang Undang-undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan Perjanjian Malaysia (MA63) telah diluluskan dengan sokongan penuh Dewan Rakyat pada 14 Disember 2021.\nKelulusan sebulat suara tersebut menunjukkan bahawa kerajaan pusat mengiktiraf tuntunan Sabah dan Sarawak semasa Perjanjian Malaysia dimeterai dan dapat disifatkan sebagai kejayaan perundangan terbesar dan menjadi satu wadah penting dalam merealisasikan Pelan Hala Tuju SMJ (SMJ).\nPerlaksanaan SMJ ini adalah berdasarkan lima objektif, iaitu Membina negeri dan masyarakat bersatu, aman makmur dan sejahtera; Merangsang pemulihan ekonomi; meningkatkan ekonomi rakyat; Mengoptimumkan sumber dan hasil negeri; dan Membangunkan modal insan. Melalui tuntutan hak Sabah menerusi MA63, kesemua lima objektif ini diyakini akan dapat dicapai sama ada secara langsung atau sebaliknya.\nPada April 2021, Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) telah mencapai persetujuan untuk menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri Sabah kuasa pentadbiran ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan. Hak kedaulatan dan bidang kuasa pentadbiran ke atas pulau tersebut termaktub di bawah pengawasan Taman-Taman Sabah dan perlindungan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959. Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengambil tanggungjawab menguruskan penyerahan kuasa tersebut. Walaupun kawalan keselamatan ke atas kedua pulau tersebut masih di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan, kuasa dan autonomi pentadbiran yang telah diserahkan kepada kerajaan negeri akan memberikan dampak pembangunan ekonomi yang signifikan terhadap Sabah, terutamanya dalam sektor pelancongan.\nUmum mengetahui bahawa Malaysia telah memenangi kes tuntutan bertindih ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan melalui keputusan perbicaraan Mahkamah Keadilan Antarabangsa di Hague pada tahun 2002. Pertikaian antara Malaysia dengan Indonesia untuk merebut pulau tersebut bukanlah semata-mata konflik persempadanan tetapi mempunyai ruang lingkup yang lebih luas kerana kemenangan dalam konflik ini akan memberikan kedaulatan dan pemilikan kepada pihak yang menang.\nTidak dinafikan bahawa pulau yang terletak di Laut Sulawesi, pesisir Tenggara Sabah ini mempunyai kecantikan semula jadi yang memukau, malah sering dinobatkan sebagai antara pulau tercantik di dunia khususnya untuk aktiviti selam. Hal ini bermakna bahawa kuasa pentadbiran yang diberikan ke atas Sabah oleh kerajaan persekutuan bakal memberikan pulangan yang besar kepada kerajaan negeri.\nNegeri Sabah sudah sememangnya terkenal dengan destinasi pelancongan yang menarik sejak awal tahun 1980-an dan sektor ini juga merupakan antara penyumbang terbesar ekonomi Sabah sejak tahun 2016. Menurut rekod, hasil tertinggi sektor pelancongan Sabah adalah pada tahun 2018 dengan hasil sebanyak RM8 342 bilion. Dengan adanya daya tarik dan kemasyhuran keindahan Pulau Sipadan dan Ligitan, sektor pelancongan Sabah bakal memperoleh ganjaran keuntungan yang dapat merangsang pemulihan ekonomi Sabah secara keseluruhannya. Dalam erti kata lain, kuasa pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan yang dikembalikan kepada Sabah melalui inisiatif MKMA63 ini amat sejajar dan bertepatan dengan objektif SMJ.\nSeperkara lagi adalah berhubung dengan persetujuan kerajaan persekutuan untuk memberikan kuasa kepada Sabah dan Sarawak untuk pengambilalihan pengeluaran permit dan lesen laut dalam bagi vesel penangkapan. Persetujuan ini juga tercapai dalam Mesyuarat MKMA63 pada 18 Oktober 2021. Hak untuk mengeluarkan permit dan lesen laut dalam akan diletakkan di bawah bidang kuasa Pengarah Jabatan Sabah dan Pengerah Jabatan Perikanan Laut Sarawak. Sebelum penyerahan kuasa ini dipersetujui, pengeluaran lesen vesel dan peralatan menangkap ikan di perairan laut dalam di Sabah dilakukan melalui tindakan perwakilan kuasa oleh Ketua Pengarah Perikanan kepada Pengarah Perikanan Sabah berdasarkan provisi Akta Perikanan 1985 (Akta 317). Ternyata pemberian kuasa ini mempunyai cakupan yang luas bermula daripada penerimaan permohonan, pengauditan, penilaian, kelulusan permohonan sehinggalah ke pengeluaran permit dan lesen vesel serta peralatan penangkapan ikan laut dalam Zon C2. Walau bagaimana pun, pemberian kuasa ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan bersama antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.\nKeputusan ini ternyata memberikan manfaat yang besar kepada kedua-dua pihak di samping dapat memperbaik keharmonian hubungan dan kesefahaman. Secara keseluruhannya kerajaan negeri bakal menerima kebaikan dan kelebihan dari segi pengurusan sumber perikanan, hubungan dan jaringan antarabangsa serta keselamatan perairan. Sekiranya diperhalusi, inisiatif pemberian kuasa ini juga turut mendukung pencapaian objektif pelan SMJ terutamanya bagi mengoptimumkan sumber dan hasil negeri. Memandangkan Sabah negeri yang kaya dengan sumber hidupan laut, industri perikanan di Sabah menjadi antara penyumbang terbesar dana pendapatan kerajaan negeri. Pada enam bulan pertama tahun 2021, Sabah telah merekodkan sebanyak 107 000 tan metrik pendaratan ikan yang bernilai RM643 juta. Pada ketika ini Sabah mempunyai sejumlah 30 486 nelayan dengan tangkapan mencecah 206 703 tan metrik ikan setahun yang bernilai lebih daripada \u00a0RM1.2 bilion.\nTernyata industri perikanan Sabah mempunyai potensi yang memberangsangkan dan penurunan kuasa pelesenan perikanan laut dalam daripada Ketua Pengarah Perikanan kepada Pengarah Perikanan Sabah akan membolehkan Jabatan Perikanan Sabah menentukan lesen vesel yang perlu dikeluarkan berdasarkan kapasiti jumlah tangkapan seperti di Laut Sulawesi, Laut China Selatan dan Laut Sulu.\nSelain itu, penurunan kuasa tersebut akan membolehkan Sabah meneruskan dasar yang sedia ada di samping membentuk dasar baharu berkaitan dengan pengurusan perikanan yang bersesuaian dengan keperluan industri perikanan di Sabah, mengikut norma pengurusan perikanan antarabangsa. Hal ini bermakna bahawa langkah penurunan kuasa pelesenan perikanan laut dalam kerajaan Sabah boleh dilihat selari dengan objektif serta aspirasi pelan SMJ terutamanya dalam memulihkan dan seterusnya merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. Tidak dinafikan juga bahawa rangsangan ini bakal mencetuskan peluang pekerjaan yang dapat membantu golongan rentan bandar dan B40 untuk mendapat pendapatan yang lebih baik.\nWalaupun penurunan kuasa pelesenan perikanan laut kepada kerajaan negeri Sabah merupakan perubahan yang disambut baik, namun masih terdapat isu berkaitan dengan hal ini yang masih belum dapat diselesaikan, iaitu isu perairan Sabah dan Sarawak. Isu ini timbul rentetan daripada penguatkuasaan Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) yang telah mengehadkan hak-hak kedaulatan dan bidang kuasa ke atas kawasan pentas dunia (continental shelf) yang terdiri daripada dasar laut dan tanah bawahnya kepada tiga batu nautika bersamaan dengan 5.56 km dari pantai. Penguatkuasaan Akta tersebut telah mengurangkan secara signifikan had laut wilayah Sabah dan Sarawak sebanyak 9 batu nautika bersamaan dengan 16.5 km (daripada 12 batu nautika kepada 3 batu nautika). Sehubungan itu, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak berpendapat bahawa skop pemakaian Akta ini sepatutnya hanya terpakai di Semenanjung Malaysia.\nApa-apa yang boleh dirumuskan setakat ini adalah terdapat beberapa perubahan yang positif dalam isu berkaitan MA63. Kerajaan Persekutuan melalui perbincangan dalam Mesyuarat MKMA63 telah memberikan persetujuan ke atas perkara-perkara yang memberikan kelebihan kepada kerajaan negeri Sabah yang seterusnya dapat membantu kerajaan negeri merealisasikan pelan SMJ. Penyerahan hak mutlak pentadbiran ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan serta penurunan kuasa pelesenan perikanan laut dalam kepada kerajaan negeri sudah pasti akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Sabah yang lebih memberangsangkan. Pelan SMJ juga bakal mencapai matlamat yang dicita-citakan bagi menjamin kelangsungan dan kesejahteraan seluruh rakyat Sabah sejajar dengan rakyat negeri lain di Malaysia.\n\u00a0\nPensyarah Kanan, Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah." "Jemaah Dato\u2019-Dato\u2019 Perlis Anjur Majlis Santapan Malam Bersempena dengan Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Jemaah Dato\u2019-Dato\u2019 Perlis (JDDPs) akan menganjurkan \u201cMajlis Santapan Malam 2022\u201d pada 1 Julai 2022 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur bermula pukul 8.00 malam. Majlis ini merupakan acara tahunan pihak JDDPs bertujuan untuk meraikan dan memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Raja Perlis.\nRaja Perlis,\u00a0 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis,\u00a0 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid bersama-sama Raja Muda, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil telah berkenan untuk berangkat hadir ke majlis tersebut.\nDemikian dimaklumkan oleh Presiden JDDPs, Mejar Jeneral Datuk Husin Md Tahak (Bersara) semasa Majlis Santapan Tengah Hari sempena Mesyuarat Agung Tahunan Jemaah Dato\u2019-Dato\u2019 Perlis di Hotel Putra Regency, Kangar semalam.\nTuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda berkenan berangkat menghadiri majlis tersebut yang mana pada sebelah paginya telah diadakan pemilihan Mejar Jeneral Datuk Husin sebagai Presiden JDDPs yang baharu dan Profesor Emeritus Datuk Ir. Ts. Dr. Kamarudin Hussin sebagai Timbalan Presiden untuk tempoh dua tahun. Dato\u2019 Haji Talib Haji Ali kekal memikul tugas Setiausaha dan Dato\u2019 Ir. Hj. Mohd. Yusoff Hj. Mustafa pula selaku Bendahari.\n\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Penaung kepada Jemaah Dato\u2019-Dato\u2019 Perlis sejak awal penubuhannya sentiasa mengikuti secara dekat akan perkembangan dan aktiviti yang dijalankan oleh pihak JDDPs. Baginda menyeru lebih banyak Dato\u2019-Dato\u2019 Perlis yang bilangannya meningkat setiap tahun, secara sukarela mendaftarkan diri untuk menganggotai JDDPs bagi sama-sama menyumbang dari segi idea yang bernas, kudrat atau wang ringgit untuk membolehkan aktivitinya berjalan sepertimana yang diharapkan.\nTuanku Raja Muda juga menzahirkan ucapan terima kasih atas kerjasama serta sokongan pelbagai pihak termasuklah syarikat-syarikat korporat yang sentiasa membantu.\nPada masa yang sama juga, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menitahkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang datang dari jauh dan juga dekat untuk bersama-sama memeriahkan lagi sambutan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis ke-79 pada tahun ini setelah ditangguhkan selama dua tahun akibat pandemik COVID-19." "Suri Teladan Rakyat Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Semasa Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perlis bersempena dengan Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Tuanku Raja Perlis ke-79 yang berlangsung di Balairung Seri Istana Arau, Perlis, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa kepimpinan Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail merupakan suri teladan berharga buat rakyat jelata di negeri Perlis kerana baginda merupakan pemimpin yang disayangi ibarat \u201ckayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan\u201d.\nTitah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail lagi, baginda Tuanku Raja Perlis seorang pemimpin yang bijaksana umpama \u201cbayang-bayang sepanjang tubuh, selimut sepanjang badan\u201d di samping keputusan yang dilakukan baginda sentiasa adil dan saksama ibarat \u201cdatar bak lantai papan, licin bak dinding cermin\u201d. Selain itu, Tuanku Raja Perlis juga seorang pemimpin yang menjadi tempat rakyat berpaut dan berharap umpama \u201ccondong yang akan menongkat, rebah yang akan menegakkan\u201d.\nDemikian titah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika mempersembahkan ucapan mengulangi taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Raja dan Tuanku Raja Perempuan selagi hayat dikandung badan.\nMenurut DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Tuanku Raja Perlis dijulang sebagai pemimpin yang hebat, bak \u201ctuah yang disembah, junjung yang dipanjat\u201d di samping cakna menyantuni rakyat, di bibir tak lekang menitahkan nasihat, penuh tenaga dan penuh bersemangat, umpama \u201cseletus bedil berbunyi, mencelur ikan di laut, berkokok ayam di hutan\u201d.\nBaginda turut menyentuh tentang\u00a0 kejayaan Tuanku Raja Perlis memimpin watan tercinta dengan insan yang setia menemani di sisi umpama \u201cserumpun bak serai, sesusun bak sirih\u201d dan \u201cbagai bayang tak luput sesaat, di mata dan di hati tersemat sudah\u201d, dengan suka dan duka ditempuhi dan diharungi bersama-sama. Itulah gerangan ratu hati tercinta, cinta sejati, isteri dan juga ibu mithali, iaitu Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mendoakan semoga negeri Perlis bertambah makmur, seperti \u201cair di dalam dulang,\u201d dan \u201cair jernih, ikannya jinak\u201d serta semoga Tuanku Raja Perlis berdua bertambah sihat, sentiasa dipelihara serta terus bertakhta menelusuri masa hingga ke akhir hayat." "Waspada dengan Sindiket Menggunakan Nama SPA\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) menasihati orang ramai supaya berwaspada dengan sindiket penyamaran yang menggunakan nama Ahli Suruhanjaya dan Pegawai Pengurusan Tertinggi SPA yang dikatakan menawarkan perkhidmatan berbayar kepada individu untuk dilantik ke dalam perkhidmatan awam.\nSPA menafikan tindakan tersebut dalam suatu kenyataan menerusi laman media sosial,facebook rasminya hari ini berikutan mendapat aduan berkenaan hal ini.\n\nPada masa yang sama, SPA turut mengesan sindiket terbabit didapati aktif di platform Telegram dengan menggunakan nama berserta gambar Ahli Suruhanjaya dan Pegawai Pengurusan Tertinggi SPA untuk memerangkap mangsa.\nPihak SPA mengambil serius terhadap isu ini dan telah membuat laporan polis. SPA mengingatkan lagi orang awam supaya berhati-hati agar tidak terpedaya dengan perangkap golongan yang tidak bermoral ini.\n\nPermohonan untuk kemasukan dalam perkhidmatan awam adalah percuma dan orang awam boleh terus memohon melalui sistem SPA9." "Pengalaman Seorang Editor \u2013 Dato\u2019 Baharuddin Zainal\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sasterawan Negara, Dato\u2019 Baharuddin Zainal atau lebih dikenali sebagai Baha Zain tampil sebagai pembicara dalam Sesi Bicara Editor dengan tajuk Pengalaman Seorang Editor. Program yang dianjurkan oleh Persatuan Editor Malaysia (PEM) dan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS), Universiti Malaya (UM) ini diadakan di Auditorium Anjung Ilmu, FSSS, UM.\nMengakui pengalaman dalam dunia editor penerbitan buku merangkumi segenap bidang, Dato\u2019 Baha Zain menyatakan bahawa sepanjang bergelar editor, beliau menjadi sangat hampir dan akrab dengan perkembangan bahasa Melayu. Mantan Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan editor yang pernah menangani majalah Dewan Bahasa, Dewan Sastera dan Dewan Kosmik terbitan DBP ini turut menceritakan kisah dirinya semasa diberikan peluang ke Indonesia untuk mengikuti kursus bahasa. Di sana, beliau dapat menyaksikan pergaulan antara tenaga intelektual untuk mempelajari bahasa dalam sebuah masyarakat ilmu dan sikap orang yang benar-benar sanggup berhadapan dengan apa-apa sahaja cabaran demi memperoleh ilmu. Pengorbanan dan dedikasi terhadap ilmu yang banyak dipelajari daripada tenaga intelektual di Indonesia tersebut demi idealisme membuatkan beliau berasa kagum.\nMengimbas kenangannya sebagai editor, Dato\u2019 Baha Zain tidak menafikan bahawa beliau juga pernah berhadapan dengan pelbagai kritikan yang mencalarkan nama baiknya sebagai editor. Walau bagaimanapun, cabaran itu haruslah ditangani secara berhemah dan mengikut undang-undang.\n\u201cTugas dan tanggungjawab editor bukan sekadar mengendalikan kegiatan yang bermakna kepada masyarakat pembaca, sebaliknya berani menghasilkan banyak penulisan yang meningkatkan intelektual pembacanya.\u201d\nSesi Bicara Editor yang dihadiri oleh Prof. Dr. Hamedi Mohd Adnan (Presiden PEM), Datuk Mior Kamarulbaid Mior Shahid (mantan Pengarang Kumpulan Berita Harian), Dr. Siti Ezaleila Mustafa (Setiausaha PEM), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad (Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia), Encik Mohd Riduwan Wahab (Pengarah DBP Wilayah Selatan), Mohamed Nasser Mohamed (Nuha Creative Resources) dan tetamu undangan yang lain serta diakhiri dengan jamuan Hari Raya Aidilfitri." "Perihal \u201cMemotong\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata memotong merupakan kata umum, kata hipernim atau kata superordinat yang biasa kita gunakan dalam kehidupan seharian. Sebagai kata umum, kata memotong merangkumi sejumlah kata khusus atau hiponim. Dengan adanya hiponim, kita dapat menghalusi maksud kata memotong dan menggunakannya dengan lebih tepat.\nKata khusus memotong ada kalanya bergantung pada bahan yang dipotong.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\n1a.\u00a0 Dia mengacip pinang.\n1b.\u00a0 Dia mencangkul tanah.\n1c.\u00a0 Dia mengerat kayu.\n1d.\u00a0 Dia menoreh pokok getah.\n1e.\u00a0 Dia mengelar ikan.\nKata hiponim dalam kelompok ayat 1 seperti mengacip, mencangkul, mengerat, menoreh dan mengelar bersifat khusus, dan berkaitan dengan benda tertentu. Kata-kata itu tidak boleh digunakan secara bertukar ganti secara sesuka hati.\nKata khusus memotong kadang-kadang berkaitan dengan bahagian benda yang dipotong. Sila lihat contoh yang berikut:\n2a.\u00a0 Dia mengembiri kambing ternakannya.\n2b.\u00a0 Dia memangkas ranting pokok.\n2c.\u00a0 Dia mengetam kayu.\n2d.\u00a0 Tok Mudin mengkhatan budak itu.\nDalam kelompok ayat 2, kata mengembiri berkaitan dengan menghilangkan sifat kejantanan. Kata yang seerti adalah seperti mengasi dan mengasim. Kata memangkas atau mencantas berkaitan dengan hujung dahan atau ranting. Kata mengetam berkaitan dengan permukaan kayu, dan kata mengkhatan atau menyunat berkaitan dengan kulup.\nKata khusus memotong juga berkaitan dengan bentuk atau saiz potongan. Sila lihat contoh yang berikut:\n3a.\u00a0 Dia mengerat kayu.\n3b.\u00a0 Dia membelah kayu.\n3c.\u00a0 Dia melapah kerbau.\n3d.\u00a0 Dia mencencang daging.\n3e.\u00a0 Dia menghiris timun.\n3f.\u00a0\u00a0 Dia menebuk kayu.\n3g.\u00a0 Dia meraut rotan.\nDalam ayat 3a, kata mengerat berkaitan dengan potongan secara melintang.\u00a0 Dalam ayat 3b, kata membelah berkaitan dengan potongan yang memanjang. Dalam ayat 3c, kata melapah berkaitan dengan potongan yang besar-besar. Dalam ayat 3d, kata mencencang berkaitan dengan potongan yang kecil-kecil. Dalam ayat 3e, kata menghiris berkaitan dengan potongan yang nipis-nipis. Dalam ayat 3f, kata menebuk berkaitan dengan keadaan yang berlubang. Dalam ayat 3g, kata meraut berkaitan dengan keadaan yang licin, halus atau tajam.\nKata khusus memotong juga berkaitan dengan keadaan benda yang dipotong. Sebagai contoh, bagi pokok berkayu yang besar dan keras, kata khususnya ialah menebang atau mengapak. Bagi tumbuhan renek yang tidak begitu keras, kata yang digunakan ialah menebas, mengetam atau menyabit. Sila lihat contoh yang berikut:\n4a.\u00a0 Dia menebang pokok.\n4b.\u00a0 Dia menebas semak.\n4c.\u00a0 Dia mengetam padi.\n4d.\u00a0 Dia menyabit rumput.\nKata khusus memotong juga berkaitan dengan dalamnya sesuatu benda dipotong. Sila lihat contoh yang berikut:\n5a.\u00a0 Dia menebang pokok itu.\n5b.\u00a0 Dia menakik pokok itu.\n5c.\u00a0 Dia mengerat kayu itu.\n5d.\u00a0 Dia mengelar ikan itu.\n5e.\u00a0 Dia memenggal leher musuhnya.\nDalam kelompok ayat 5 di atas, kata menebang, mengerat dan memenggal bererti memotong sesuatu sampai terputus, manakala kata menakik dan mengelar berkaitan dengan potongan yang tidak begitu dalam.\nKata khusus memotong juga berkaitan dengan kekuatan tenaga yang digunakan. Sila lihat contoh yang berikut:\n6a.\u00a0 Dia menetak lawannya.\n6b.\u00a0 Dia memarang pokok itu.\n6c.\u00a0 Dia membelah kayu api.\n6d.\u00a0 Dia menghiris bawang.\n6e.\u00a0 Dia menuai padi.\nDalam kelompok ayat 6, kata menetak, memarang dan membelah berkaitan dengan tenaga yang lebih berbandung dengan kata menghiris dan menuai.\nKata khusus memotong juga berkaitan dengan alat yang digunakan untuk memotong sesuatu. Sila lihat contoh yang berikut:\nAyat Contoh Alat\n7a.\u00a0 Dia memahat kayu. pahat\n7b.\u00a0 Dia memarang pokok parang\n7c.\u00a0 Dia mencangkul tanah cangkul\n7d.\u00a0 Dia mengacip pinang kacip\n7e.\u00a0 Dia mengapak pokok kapak\n7f.\u00a0\u00a0 Dia mengetam kayu ketam\n7g.\u00a0 Dia menggergaji kayu gergaji\n7h.\u00a0 Dia menggerudi kayu gerudi\n7i.\u00a0\u00a0 Dia menggunting kain gunting\n7j.\u00a0\u00a0 Dia mengisar daging mesin pengisar\n7k.\u00a0 Dia menyabit rumput sabit\nKata khusus memotong juga berkaitan dengan alat yang digunakan. Sila lihat contoh yang berikut:\n8a.\u00a0 Dia menikam lawannya dengan keris.\n8b.\u00a0 Dia menetak lawannya dengan parang.\nDalam ayat 8a, kata menikam berkaitan dengan alat atau senjata yang runcing seperti keris, lembing atau tombak. Kata khusus lain adalah seperti meradak, menohok dan menombak. Bagi kata menetak pula, alat atau senjata yang digunakan biasanya berbentuk memanjang. Contohnya ialah parang atau pedang. Kata khusus lain adalah seperti memenggal dan memancung." "UKM Buka Cawangan di Doha\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan membuka cawangannya di Doha, Qatar dengan pengambilan pelajar sulungnya\u00a0 pada September ini. Menurut Naib Canselor, Prof. Dato\u2019 Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, pembukaan cawangan UKM di negara tersebut akan meningkatkan kerjasama dalam perundingan dan penyelidikan selain penawaran kursus dan memantapkan jenama UKM di negara-negara Teluk.\n\u201cUKM amat berbangga dengan pengiktirafan ini. Maka itu, sebuah universiti watan, UKM akan terus memberikan perkhidmatan pendidikan yang terbaik dalam merentas sempadan dunia.\u201d\nTambah beliau, pembukaan cawangan UKM di Doha adalah berdasarkan projek kerjasama dengan The Regional Group yang merupakan sebuah syarikat yang menguruskan bidang pembangunan hartanah, pengurusan aset, pertanian, pelaburan saham dan khidmat perundingan kejuruteraan.\nMenurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UKM, menerusi perjanjian yang ditandatangani pada 26 Mac lalu, UKM bersetuju untuk menawarkan program peringkat prasiswazah dan pascasiswazah secara persisir (offshore) di Doha. The Regional Group bertanggungjawab dalam pengurusan program, pemasaran dan menyediakan kemudahan fasiliti dan infrastruktur untuk sesi pengajaran dan pembelajaran. Sementara itu, \u00a0 UKM bertanggungjawab dalam menyediakan input akademik yang melibatkan kurikulum, pengajaran dan pembelajaran, jaminan kualiti dan pengijazahan. \nTambah\u00a0 Profesor Dato\u2019 Ts. Dr. Mohd Ekhwan, UKM amat berbangga kerana dalam tempoh dua hingga lima tahun lagi, The Regional Group\u00a0 bersetuju untuk membiaya pembinaan kampus cawangan UKM di Qatar.\nKatanya, program offshore dijangka akan mula ditawarkan pada Oktober 2022 dengan kumpulan pertama pelajar akan mengikuti program sarjana muda.\n\u201cAntara program yang akan ditawarkan termasuklah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Pembangunan Sistem Maklumat), Sarjana Muda Kejururawatan dan Sarjana Muda Sains (Teknologi Kimia). Kita mensasarkan pelajar yang akan mengikuti pengajian di UKM cawangan Doha adalah dalam kalangan rakyat Qatar itu sendiri dan juga rakyat negara lain yang bekerja di Qatar dan dari negara-negara Teluk,\u201d katanya.\nSelain penawaran program secara offshore, Prof. Dato\u2019 Ts. Dr. Mohd Ekhwan turut menjelskan bahawa pihak Qatar turut berminat untuk mendapatkan khidmat kepakaran UKM dalam kerja-kerja perundingan dan penyelidikan untuk projek-projek di Qatar.\n\u201cMelalui pembukaan UKM cawangan Doha ini akan dapat meningkatkan penjanaan universiti disamping menyebarluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang lain ke peringkat antarabanga. Terima kasih kepada kerajaan Qatar kerana membenarkan UKM membuka cawangan di Doha. Saya percaya dengan kerjasama ini, UKM khususnya Malaysia dan Qatar dapat terus\u00a0 memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang,\u201d katanya." "Jalinan Kerjasama Tingkatkan Perkhidmatan Rejimen Perlis\u00a0yang Lebih Inklusif\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra\u00a0\u2013\u00a0Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM)\u00a0Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri majlis Sambutan Aidilfitri dan Hari Keluarga Rejimen 504 Askar Wataniah yang diadakan di Pauh Inn Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS),\u00a0Pauh Putra\u00a0pada\u00a0hari ini.\nDalam majlis tersebut, baginda bertitah Rejimen Askar Wataniah perlu berkolaborasi dengan pelbagai agensi kerajaan mahupun\u00a0swasta serta sentiasa berafiliasi dengan masyarakat luar,\u00a0terutamanya dalam perkara latihan\u00a0bagi mengoptimumkan perkhidmatan\u00a0berkenaan.\nDi samping itu, peranan dan pelibatan daripada semua pihak juga penting dalam usaha menyokong setiap latihan dan kursus yang dianjurkan oleh pihak rejimen.\nMenurut DYTM Tuanku Raja Muda yang merangkap Tuanku Komander rejimen berkenaan,\nSelaras dengan pelbagai audit yang telah dihadapi oleh pihak rejimen pada setiap tahun, pengukuhan penyatuan amatlah diperlukan dan dihayati oleh setiap lapisan pegawai dan anggota.\n\u201cKita seharusnya mengkaji\u00a0dan mencari jalan penyelesaian bagi setiap teguran yang diberikan oleh Tim Pemeriksa. Sikap menuding jari dan bersangka buruk hanya\u00a0mengeruhkan keadaan lagi dan sudah pastinya menemui jalan buntu.\u201d\n\u201cOleh itu, marilah bersama-sama sebagai satu rumpun menjernihkan semula sebarang salah faham dan memperbaik setiap teguran bagi meningkatkan kembali pengurusan rejimen ke arah lebih inklusif.\nPada masa yang sama,\u00a0Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak\u00a0berkata,\nWalaupun menghadapi pelbagai kekangan tugas dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi, tugasan setiap pegawai dan anggota sebagai pasukan keselamatan tetap diteruskan demi menjaga kedaulatan tanah air tercinta.\nKeberangkatan DYTM Tuanku Raja Muda ke majlis ini turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil." "Keluarga Malaysia Diundang Hadir ke Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebagai penzahiran maklum balas ke atas hasrat Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, yang mahu melihat bahasa Melayu dimartabatkan di dalam negara dan diperluas penggunaannya pada peringkat ASEAN dan antarabangsa, Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); dan Institut Peradaban Melayu (IPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang akan berlangsung esok, iaitu Ahad\u00a0hingga Selasa\u00a0(22\u00a0Mei \u00a0hingga 24 Mei\u00a02022), bertempat di\u00a0 Wisma DBP, Kuala Lumpur.\nMenurut hantaran menerusi Facebook Pejabat Perdana Menteri, Keluarga Malaysia diundang hadir ke simposium yang buat julung-julung kalinya diadakan yang turut menyaksikan penyertaan dan sokongan daripada pelbagai tokoh bahasa dari serata negara. Yang berikut ialah acara yang akan dijadualkan sepanjang tiga hari simposium tersebut: \n(1) Perasmian pembukaan oleh Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, pada 8.30 pagi hingga 9.30 pagi, 22 Mei 2022 (Ahad).\n(2) Penyampaian tiga ucap utama: \n(3) Pembentangan 60 kertas kerja menerusi 15 sidang:\n(i) Sidang 1: Isu dan Cabaran Bahasa Melayu Abad ke-21, pada pukul 10.00 pagi hingga \u00a011.30 pagi, 22 Mei 2022 (Ahad). Pembentang yang terlibat: \n(ii) Sidang 2: Bahasa Melayu dalam Pelbagai Bidang Pendidikan, pada pukul 11.30 pagi \u00a0hingga 1.00 tengah hari, 22 Mei 2022 (Ahad). Pembentang yang terlibat: \n(iii) Sidang 3: Bahasa Melayu dan Pengukuhan melalui Undang-undang, pada pukul 2.00 petang hingga \u00a03.30 petang, 22 Mei 2022 (Ahad). Pembentang yang terlibat: \n(iv) Sidang 4: Bahasa Melayu dan Ekonomi, pada pukul 3.30 petang hingga 5.00 petang, 22 Mei 2022 (Ahad). Pembentang yang terlibat: \n(v) Sidang 5: Bahasa Melayu sebagai Bahasa Diplomasi, pada pukul 5.00 petang hingga 6.30 petang, 22 Mei 2022 (Ahad). Pembentang yang terlibat:\n(vi) Sidang 6: Bahasa Melayu sebagai Bahasa Supranasional dan Diaspora Bahasa Melayu, pada pukul 8.30 pagi hingga 10.00 pagi, 23 Mei 2022 (Isnin). Pembentang yang terlibat:\n(vii) Sidang 7: Bahasa Melayu di Forum Antarabangsa, pada pukul 10.00 pagi hingga 11.30 pagi,\u00a023 Mei 2022 (Isnin). Pembentang yang terlibat: \n(viii) Sidang 8: Bahasa Melayu Tunjang Peradaban Bangsa, pada pukul 11.30 pagi hingga \u00a01.00 tengah hari,\u00a023 Mei 2022 (Isnin). Pembentang yang terlibat: \n(ix) Sidang 9: Bahasa Melayu dan Pembinaan Negara, pada pukul 2.00 petang hingga \u00a03.30 petang, 23 Mei 2022 (Isnin). Pembentang yang terlibat: \n(x) Sidang 10: Pengembangan Bahasa Melayu melalui Sains, Teknologi, Multimedia dan Komunikasi, pada pukul 3.30 petang hingga 5.00 petang, 23 Mei 2022 (Isnin). Pembentang yang terlibat: \n(xi) Sidang 11: Bahasa Melayu dan Pengurusan pada pukul 5.00 petang hingga \u00a06.30 petang, 23 Mei 2022 (Isnin). Pembentang yang terlibat: \n(xii) Sidang 12: Pengajian Melayu Antarabangsa, pada pukul 8.30 pagi hingga 10.00 pagi, 24 Mei 2022 (Selasa). Pembentang yang terlibat:\n(xiii) Sidang 13: Peranan Institusi Pengajian Tinggi dalam Peningkatan Bahasa Melayu, pada pukul10.00 pagi hingga 11.30 pagi, 24 Mei 2022 (Selasa). Pembentang yang terlibat:\n(xiv) Sidang 14: Bahasa Melayu Pelestarian Kearifan Setempat, pada pukul 11.30 pagi hingga 1.00 tengah hari, 24 Mei 2022 (Selasa). Pembentang yang terlibat:\n(xv) Sidang 15: Gagasan Bahasa Melayu: Dari Negara ke Serantau dan Antarabangsa, pada pukul 2.00 petang\u00a0 hingga\u00a03.30 petang, 24 Mei 2022 (Selasa). Pembentang yang terlibat: \n(4) Forum: Memartabatkan Bahasa Melayu di Rantau ASEAN, pada pukul 8.00 malam hingga 10.30 malam, 22 Mei 2022 (Ahad). Ahli panel yang terlibat:\n(5) Forum: Bahasa Melayu Menuju Globalisasi, pada pukul 3.30 petang hingga 5.00 petang, 24 Mei 2022 (Selasa). Ahli panel yang terlibat: \n(6) Mesyuarat Meja Bulat Wakil-wakil ASEAN untuk Program Pengembangan Bahasa Melayu di Institut Pengajian Tinggi Negara ASEAN, pada pukul 8.00 malam hingga \u00a0 10.30 malam, 23 Mei 2022 (Isnin).\n(7) Perasmian Penutupan oleh Ketua Setiausaha Negara, YABhg. Tan Sri Dato\u2019 Seri Mohd Zuki Ali, pada pukul 5.00 petang hingga 6.30 petang, 24 Mei 2022 (Selasa)." "Sebanyak 186 Peserta Sertai Kejohanan Woodball Terbuka UiTM Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nArau\u00a0\u2013 Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan majlis penutupan Kejohanan Woodball Terbuka Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis 2022 yang diadakan Dewan Sri Semarak Kampus Arau pada petang ini.\nSebanyak 186 orang peserta menyertai Kejohanan Woodball Terbuka Universiti Teknologi MARA (UiTM)\u00a0Cawangan Perlis 2022 yang berlangsung di Laman Woodball Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra,\u00a0UiTM Arau\u00a0sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis, (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail\u00a0yang ke-79.\nKejohanan yang berlangsung selama dua hari, iaitu bermula dari 20\u00a0hingga 22 Mei 2022, telah disertai oleh pasukan dari Perlis (4), UiTM (2), Perlis Titan (2), Pahang (2), Johor (3), Pulau Pinang (2), MWA (1), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM)\u00a0(1), Kuala Lumpur (3) dan Terengganu (2) melibatkan 22 pasukan lelaki dan sembilan pasukan wanita.\nSecara keseluruhannya, sebanyak 108 orang telah mengambil bahagian dalam kategori Perseorangan Lelaki, manakala Perseorangan Wanita\u00a0(45 orang), Perseorangan Remaja Lelaki\u00a0(21 orang) dan Perseorangan Remaja Wanita\u00a0(12 orang).\nKeberangkatan tiba baginda disambut oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd.\u00a0Janor dan Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd.\u00a0Fauzi.\nDYTM Raja Muda Perlis \u00a0yang juga merangkap Tuanku Penaung DiRaja Persatuan Woodball Negeri Perlis bertitah, \u201cPada tahun 2019, Persatuan Woodball Malaysia telah merancang dan bersedia untuk menjadi tuan rumah bagi kejohanan World Cup Woodball Championship 2020, yang sepatutnya diadakan di Perlis, dengan kerjasama Persatuan Woodball Negeri Perlis. Namun begitu, berikutan pandemik COVID-19 yang menyerang dunia, hajat tersebut tidak kesampaian.\u201d\nWalau bagaimanapun, Persatuan Woodball Malaysia terus berusaha meningkatkan pelibatan orang ramai dengan mengadakan pelbagai kejohanan pada peringkat domestik. Antaranya termasuklah, UiTM Perlis Open Woodball Championship 2022 dan Malaysian National Woodball League\u00a0yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini, yakni\u00a0giliran tuan rumah yang seterusnya ialah Terengganu pada 2\u00a0Jun hingga 5 Jun 2022, dan akan diikuti oleh negeri Perlis yang dijangka dilakukan pada Oktober atau November.\nDYTM Tuanku Raja Muda amat berharap agar semua \u00a0Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), terutamanya di negeri Perlis untuk terus memainkan peranan dalam memajukan sukan woodball ini.\n\u201cUsaha untuk mempopularkan sukan ini tidak mampu digapai sekiranya beberapa pihak sahaja yang menunjukkan kesungguhan,\u201d tegas DYTM Raja Muda Perlis." "Pengantarabangsaan Bahasa Melayu Perlu Tindakan Strategik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai rakan kerjasama yang bermula sejak 21 Mei lalu dan akan berakhir pada hari ini diteruskan dengan sesi Ucap Utama Ketiga yang disampaikan oleh YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada pagi ini di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.\nDalam sesi ucap utama tersebut, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP mengulangi pendirian beliau dengan menegaskan bahawa pengembangan bahasa Melayu di rantau ini sudah berada pada tahap supranasional dan semua pihak perlu bergerak serentak agar bahasa Melayu bukan sahaja mampu berdiri gah di rantau ini, malah mampu mara ke pentas antarabangsa. \u201cBahasa Melayu sememangnya sudah mencapai tahap supranasional dan tidak ada \u2018hijab\u2019 yang mampu menghalang kemaraannya kerana bahasa Melayu tidak terbatas dengan faktor geopolitik,\u201d tegas beliau pada awal ucapannya.\nPengerusi Lembaga DBP yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) itu turut mengingatkan bahawa dengan kedudukan bahasa Melayu yang sudah bertaraf lingua franca sejak dahulu lagi, maka tidak mustahil bahasa Melayu mampu merentas etnik di rantau ini. \u201cAcheh yang terkenal sebagai pusat ketamadunan terbesar tetap mengangkat bahasa Melayu ke tahap tertinggi,\u201d jelas beliau. Tambah beliau, tidak ada pembahagian bahasa Melayu mengikut etnik. Dalam ucapannya itu, beliau turut mengulas tentang keupayaan istilah Bahasa Melayu-Indonesia sebelum ini walaupun dianggap sebagai strategi kecil tetapi amat bermakna sebagai usaha awal proses pengantarabangsaan bahasa Melayu. Hal tersebut diperkukuh melalui peranan majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) selama ini.\nSesi Ucap Utama Ketiga ini turut menyentuh peristiwa kedatangan Islam ke alam Melayu yang juga dianggap sebagai proses pengantarabangsaan bahasa Melayu itu sendiri. \u201cSesungguhnya kedatangan Islam ke alam Melayu itu merupakan proses pengantarabangsaan bahasa Melayu yang turut terkait dengan kehidupan kita,\u201d ulas YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan lagi. Bagi beliau, Kitab Taj Us-Salatin merupakan kitab ketatanegaraan yang telah mengalami proses penterjemahan ke dalam bahasa Melayu selain kitab Undang-undang 99 Perak dan warkah-warkah Melayu lama. Hal ini menunjukkan bahawa proses pengantarabangsaan bahasa Melayu telah bermula sejak abad ketujuh, iaitu semasa zaman kerajaan Melayu Sriwijaya lagi.\n\nDalam sesi tersebut, secara ringkasnya beliau berkongsi empat (4) strategi utama untuk melonjakkan bahasa Melayu ke pentas antarabangsa, iaitu:\nStrategi 1 : Pembentukan Bahasa Melayu Supranasional\nStrategi 2 : Pemerkayaan Khazanah Ilmu dan Sastera Berbahasa Melayu\nStrategi 3 : Kerjasama dalam Penyelidikan.\nStrategi 4 : Pengantarabangsaan Bahasa Melayu Melalui Badan Penyelaras\nDalam sesi yang berlangsung selama 30 minit itu turut diselitkan pelbagai nasihat, pandangan dan cadangan agar usaha yang dilakukan sepanjang simposium ini mendapat manfaat pada masa akan datang. YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan mencadangkan supaya judul-judul tesis kajian bahasa Melayu yang sudah lama tersimpan di rak-rak institusi pengajian tinggi dapat diterbitkan dengan segera. \u201cBahan kajian sudah ada, tetapi terperap begitu lama di atas rak. Sebagai permulaannya, usaha ini perlu diteruskan sehingga kajian penting itu diterbitkan. Hasil daripada simposium ini diharapkan dapat mengangkat kajian yang sudah lama terperap agar dapat diterbitkan,\u201d cadang beliau.\nBeliau turut menyentuh tentang beberapa projek besar tentang penyusunan bahasa Melayu yang masih belum terlaksana. \u201cJika dilaksanakan dengan paduan tenaga sarjana negara ASEAN atau antarabangsa, kita dapat menyusun sebuah ensiklopedia terbesar bahasa Melayu,\u201d tegas beliau. Tambah beliau, sekiranya berjaya dilaksanakan, hal tersebut mampu mengangkat nilai ketamadunan bahasa Melayu sampai bila-bila.\nDalam ucapan akhirnya, beliau berpandangan bahawa pihak berwajib tidak perlu lagi menubuhkan platform baharu berkaitan dengan bahasa Melayu kerana platform sedia ada sudah lebih daripada mencukupi. \u201cLandasan sudah ada. Maka, kita tidak perlu tubuhkan sebuah badan baharu, kemudian kita biarkan layu dan mati begitu sahaja dan selepas itu kita menghidupkannya semula,\u201d. Beliau berpandangan usaha yang berfokus perlu dilaksanakan supaya matlamat yang dihasratkan oleh seluruh pihak tercapai dengan jayanya.\nBeliau turut menyentuh tentang keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN. Sebagai kesimpulannya, beliau menyifatkan hal tersebut tidak mustahil untuk dilakukan, bahkan bahasa Melayu juga sebenarnya mampu menjadi bahasa utama ASEAN berdasarkan kedudukan dan sejarahnya sebelum ini. \u201cSegala-galanya bermula dengan keazaman dan keupayaan yang tinggi,\u201d tegas beliau apabila menyentuh soal itu, sekali gus mengakhiri sesi Ucap Utama Ketiga pada pagi ini." "Nilai Ekonomi Bahasa Melayu di Pentas Antarabangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pengajian Melayu pada peringkat antarabangsa perlu dilihat melalui landasan konsep ekonomi permintaan dan penawaran. Penawaran pengajian Melayu tidak boleh berlandaskan keadaan sedia ada yang menawarkan kursi-kursi pengajian tanpa sebarang perubahan atau strategik yang membawa kepada permintaan pengajian Melayu yang datang dari luar. Perkara ini disentuh oleh Profesor Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul yang mencadangkan strategik penawaran pengajian Melayu perlu berubah berdasarkan teori permintaan dan penawaran. Bagi beliau, penawaran sedia ada boleh diteruskan, tetapi kita perlu memikirkan kaedah yang membawa kepada permintaan pengajian Melayu itu sendiri.\nMenurut beliau, status bahasa Melayu sebagai lingua franca pada zaman dahulu bukanlah disebabkan oleh pemerintah kerajaan Melayu yang menawarkan pengajaran atau pengajian bahasa Melayu, sebaliknya keadaan tersebut berlaku disebabkan wujudnya permintaan bahasa Melayu kerana kerajaan Melayu pada ketika itu menguasai pasaran rempah ratus yang merupakan bahan mentah yang diperlukan oleh orang luar. Oleh sebab itu, pihak luar pada masa itu berusaha untuk mempelajari bahasa Melayu. \u201cBerbanding dengan pada masa ini, kita tidak boleh lagi bernostalgia tentang kehebatan bahasa Melayu pada masa dahulu. Sebaliknya, kita perlu memikirkan perkara yang mendatangkan permintaan terhadap pengajian Melayu,\u201d jelas beliau dalam \u201cSidang 12: Pengajian Melayu Antarabangsa\u201d yang berlangsung sempena Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada hari ini. Dalam hal ini, beliau mencadangkan keperluan untuk mewujudkan korpus ilmu (sastera, sosiobudaya dan diversiti) yang menggunakan bahasa Melayu sebagai satu daripada pelan strategik. Korpus ilmu ini jelas beliau, perlulah unik dan yang belum lagi dipelopori oleh pihak lain.\nProf. Dr. Arndt Graf dari Jerman yang turut diundang sebagai ahli panel pula membawa teori hubungan antarabangsa, iaitu konsep \u201ctradingstate\u201d (negara yang berasaskan perdagangan) untuk menjelaskan hubungan pengajian Melayu pada peringkat antarabangsa dengan ekonomi. Menurut beliau, hal ini akan menimbulkan minat terhadap pengajian Melayu apabila sesebuah negara mempunyai hubungan ekonomi dengan rantau tersebut. Beliau menyebut Jerman sebagai sebuah negara berasaskan perdagangan yang sememangnya memfokuskan negara-negara di Asia Tenggara berdasarkan pertimbangan ekonomi. Hal ini dapat dilihat dengan jumlah pengajian Asia Tenggara yang ditawarkan oleh Jerman di 22 buah universiti dan lima buah pusat penyelidikan di negara itu. Hubungan ini dicerminkan melalui hubungan ekonomi antara Jerman dengan Asia Tenggara. Dalam hal ini, Jerman merupakan negara utama Eropah yang mengeksport barangan ke Asia Tenggara.\nBeliau menjelaskan dari perspektif ekonomi, bahasa Melayu merupakan bahasa utama di Asia Tenggara kerana penggunaan bahasa Melayu di Malaysia, Indonesia dan Brunei dianggarkan sekitar 47 peratus, iaitu melebihi penggunaan bahasa lain, bahkan melebihi bahasa Inggeris yang digunakan di Singapura dan di Filipina. \u201cSebagai contoh, eksport Malaysia pada hari ini mencerminkan sebagai sebuah negara industri yang menarik untuk mengadakan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan dan teknologi,\u201d jelas beliau. Tambah beliau, dalam konteks pengajian Melayu, kita juga seharusnya melihatnya dalam konteks politik, sejarah dan budaya Melayu.\nDalam sidang tersebut juga, Dr. Azhar Ibrahim dari Singapura turut menyatakan pandangannya bahawa pengantarabangsaan pengajian Melayu perlu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa dan pengantar ilmu yang kukuh serta tidak hanya berlegar sebagai bahasa untuk komunikasi dan pengekalan identiti sahaja. Perkara ini akan mengakibatkan bahasa Melayu menjadi \u201cbahasa kedaerahan\u201d dalam istilah Gramsci. Menurut beliau, \u201cKita seharusnya membangunkan ilmu mandiri (autonomous knowledge) sebagaimana yang pernah digagaskan oleh Syed Hussein Alatas, untuk membangunkan ilmu dengan mahir dan anjal, iaitu menggabungkan idea luaran dan dalaman, namun tidak terikat oleh hegemoni ilmu seperti eurosentrisme dan orientalisme.\u201d\nTambah beliau, usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa tidak boleh bersikap ekabahasa yang terperangkap dalam bahasa Melayu semata-mata. \u201cPerancangan ke arah pengantarabangsaan bahasa Melayu mestilah bermaksud perancangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dengan membangunkan ilmu mandiri mengikut dua sisi, iaitu pertama, menyanggah ilmu dominan khasnya dari Euro-Amerika untuk mendapat pemahaman yang lebih baik. Kedua, mengemukakan perspektif setempat, bukan sahaja untuk berdepan dengan konteks dan keperluan setempat, malah juga menyumbang kepada ilmu pada peringkat global,\u201d jelas beliau.\nDalam sidang yang sama, Profesor Emeritus Dato\u2019 Paduka Dr. Hashim Musa pula mengulas tentang ilmu pengetahuan yang perlu disampaikan dalam bahasa kebangsaan penduduknya, bahasa Melayu untuk Malaysia, Indonesia dan Brunei,\u00a0 kecekapan pembelajaran, pembinaan daya tenaga rakyat jelata, pemupukan jati diri dan perpaduan negara bangsa. Perkara inilah yang berlaku kepada negara-negara Eropah, Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Republik China, yang telah menggunakan bahasa kebangsaan atau tempatan mereka sendiri untuk menyampaikan segala ilmu pengetahuan kepada rakyat dan membangunkan sumber daya tenaga manusia. \u201cPenggunaan bahasa penjajah akan selama-lamanya melahirkan mentaliti \u2018budak jajahan\u2019 yang berkiblat kepada tuan penjajahnya dari segi nilai, ekonomi, gaya hidup, seni rekreasi dan jati diri,\u201d tegas beliau.\nSebagai kesimpulannya, tulang belakang bagi pembangunan sumber daya tenaga manusia buat seluruh rakyat jelata di sesebuah negara ialah bahasa kebangsaan. Bagi Malaysia, Indonesia dan Brunei, mereka perlu menekankan penggunaaan bahasa Melayu bukannya bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, program pengajaran bahasa utama dunia seperti bahasa Inggeris, Jerman, Perancis, China dan Korea yang cekap perlu dijalankan demi pemerolehan dan penimbaan ilmu pengetahuan, teknologi, perdagangan dan diplomasi antarabangsa." "Peranan Bahasa Melayu di Institusi Pengajian Tinggi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sidang ke-13 sempena Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu diteruskan dengan menyentuh peranan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dengan melibatkan empat orang pembentang di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nPemakalah bagi sidang ke-13 terdiri daripada tiga orang pembentang tempatan, iaitu YBhg. Profesor Emeritus Dato Seri Dr. M. Mustafa Ishak, YBhg. Profesor Dato\u2019 Dr. Mohd Jamil Maah dan YBrs. Encik Sakri Abdullah, berserta dengan seorang pembentang antarabangsa dari Uzbekistan, iaitu Puan Munisa Mukhtarova yang dilaksanakan secara maya.\nYBhg. Profesor Emeritus Dato Seri Dr. M. Mustafa Ishak mencadangkan supaya pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) harus kembali mengorak langkah untuk mewajibkan semua pelajar antarabangsa mengambil Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Bukan Warganegara (SKBMW) sebagai satu daripada usaha untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu dengan lebih proaktif.\n\u201cApabila mereka (pelajar antarabangsa) diwajibkan untuk mengambil SKBMW ini, sudah pasti mereka akan belajar bahasa Melayu, sekali gus mampu mewujudkan kemahiran dan kompetensi berbahasa Melayu dengan baik,\u201d jelas YBhg. Profesor Emeritus Dato Seri Dr. M. Mustafa Ishak sebagai pembentang pertama dalam sidang sebentar tadi.\nPembentang kedua, YBhg. Profesor Dato\u2019 Dr. Mohd Jamil Maah pula amat bersetuju berkenaan dengan peri pentingnya peranan IPT dalam memartabatkan bahasa Melayu berdasarkan pengalaman beliau yang melanjutkan pengajian di Universiti Malaya ketika YM Profesor Diraja Dr. Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid (Pak Ungku) menjadi Naib Canselor.\nMenurut beliau, Pak Ungku ialah perintis yang mula merancang dengan rapi supaya bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar semasa pengajaran dan pembelajaran (PdP) di Universiti Malaya bermula dengan Fakulti Sains Sosial, diikuti dengan Fakulti Sains.\n\u201cKetika itu, kerjasama antara DBP dengan IPT juga memainkan peranan yang amat penting apabila diwujudkan jawatankuasa istilah yang banyak mengumpulkan terminologi sains yang terjana dalam bahasa Melayu. Hasilnya, pensyarah dan pelajar semakin fasih menggunakan bahasa Melayu dalam pengajaran sains dan matematik,\u201d tambah beliau lagi.\nDalam pembentangan ketiga pula, Encik Sakri yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menyatakan kepentingan ITBM dalam bidang penterjemahan dalam pendidikan bermula dari peringkat asas,\u00a0iaitu sekolah rendah.\n\u201cKeyakinan saya, sekiranya bahasa Melayu tidak diangkat dari peringkat tunjang, iaitu sekolah rendah dan sekolah menengah, saya pasti pelajar akan menghadapi masalah apabila berada di peringkat pengajian tinggi kelak,\u201d jelas beliau dalam pembentangannya.\nBeliau juga menjelaskan bahawa usaha terjemahan termasuk dalam kaedah yang penting, iaitu dengan memperbanyak buku rujukan dalam pelbagai bidang. Antara kaedah yang dapat digunakan termasuklah pemindahan ilmu pengetahuan melalui terjemahan, iaitu dengan menterjemah buku antarabangsa yang terbaik pada peringkat dunia ke dalam bahasa Melayu.\nPembentangan terakhir disempurnakan oleh Puan Munisa Mukhtarova, iaitu guru bahasa Melayu di Jabatan Bahasa Selatan dan Asia Selatan Tashkent Azerbaijan. Mengulas dengan lebih lanjut berkenaan dengan perkembangan bahasa Melayu di Uzbekistan, Puan Munisa menjelaskan bahasa Melayu telah diajar sebagai bahasa asas dan tambahan di institusi pendidikan Uzbekistan sejak hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Uzbekistan yang bermula pada tahun 1993 lagi.\n\u201cPada mulanya, pelajar yang mempelajari bahasa Melayu adalah sekitar 20 hingga 30 orang sahaja, namun sekarang, jumlah pelajar di seluruh Uzbekistan yang mempelajari bahasa Melayu telah meningkat kepada lebih 300 orang.\n\u201cDi Uzbekistan, pelajar bukan sahaja mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa pertama dan kedua, malah turut mempelajari tentang sastera dan kebudayaan Malaysia,\u201d ulas beliau lagi.\nSemasa mengakhiri pembentangan sidang 13, beliau berharap agar beliau berpeluang hadir ke Malaysia dalam program yang akan datang dan dapat bertutur dalam bahasa kegemarannya, iaitu bahasa Melayu secara langsung." "Membela Maruah Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cSejarah lampau membuktikan kemakmuran rantau ini bukan sahaja pada geografi dan bentuk muka bumi, tetapi dapat dirasakan keluhuran masyarakat rantau ini atau disebut sebagai Alam Melayu, penuh dengan budi pekerti dan selalu meraikan tetamu yang hadir berurusan dengan mereka.\u201d\n\u201cRakyat dan kerajaan mestilah berjuang bersama-sama mewujudkan masyarakat yang berhemah dan berbudi bahasa agar tamadun kita tidak kehilangan mutu dan keindahan sosialnya.\u201d\nDemikian menurut YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dalam pembentangan kertas kerjanya yang bertajuk \u201cBahasa Melayu Pelestarian Kearifan Setempat\u201d pada Sidang 14, Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.\nDalam konteks bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan, beliau berpendapat bahawa industri kreatif merupakan antara cabang yang harus dipergiat dan diseiringkan dalam usaha mendiasporakan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.\nTambah beliau, kepentingan kursi pengajian Bahasa Melayu juga perlu dipergiat semula dengan penawaran program Bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa, khususnya di China, Eropah dan Australia.\nSementara itu, YBhg. Profesor Sarjit Singh Darshan Singh dari Universiti Putra Malaysia mengutarakan pandangan bahawa bahasa Melayu hakikatnya sudah melalui proses pelestarian kearifan setempat sebagai bahasa ilmu, komunikasi, pentadbiran, perpaduan dan perniagaan. Namun begitu, kedudukan bahasa Melayu di Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi semakin tercabar dengan pengaruh globalisasi yang lazimnya memberikan keutamaan kepada bahasa Inggeris.\n\u201cKetidakupayaan untuk mengukuhkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sebenarnya telah merencatkan usaha untuk menarik minat golongan belia menguasai bahasa Melayu dengan baik sama ada dalam bentuk lisan dan tulisan,\u201d ujar YBhg. Profesor Sarjit Singh Darshan Singh melalui kertas kerjanya yang bertajuk \u201cPelestarian Kearifan Setempat: Peranan dan Cabaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu\u201d.\nPenekanan terhadap penggunaan bahasa Inggeris di universiti dikatakan menyekat minat mahasiswa untuk berinteraksi dalam bahasa Melayu, terutamanya apabila masing-masing lebih menumpukan soal penarafan universiti dan pengantarabangsaan universiti.\nMenurut beliau, kedudukan bahasa Melayu akan lebih terbela sekiranya semua pihak bersatu padu untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa pembangunan demi pembinaan tamadun Malaysia. Maka itu, beliau menegaskan usaha ini perlu bermula dari peringkat sekolah dan universiti, di samping menghayati kembali aspirasi \u201cBahasa Jiwa Bangsa\u201d.\nSelaku pembentang ketiga, YBhg. Profesor Dr. Shamsudin L. Taya dari Akademi Pembangunan Bangsamoro, Filipina mengatakan bahawa penggunaan bahasa secara bersama, iaitu bahasa Melayu dalam Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (BARMM) mempunyai dua kali ganda kelebihan untuk meningkatkan nasionalisme sesuatu negara.\nPenggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam BARMM secara semula jadi akan membuka jalan kepada ikatan semula bangsa Melayu dari Filipina, terutamanya bangsa Bangsamoro ke Alam Melayu.\n\u201cMenjadikan bahasa Melayu sebagai rasmi bahasa kerajaan wilayah yang baharu mampu meredakan sensitiviti sesetengah suku kaum dan seterusnya membawa kerjasama, perpaduan, persefahaman dalam kalangan Bangsamoro,\u201d kongsi YBhg. Profesor Dr. Shamsudin ketika membentangkan kertas kerjanya secara maya.\nDalam pembentangan akhir yang bertajuk \u201cPengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu di Australia: Kesempatan dalam Kesusahan\u201d, YBrs. Profesor Madya Dr. Rebecca Fanany dari Universiti Melbourne, Australia\u00a0 berhujah dengan menyatakan bahawa penguasaan bahasa Melayu juga mampu memberikan peluang pekerjaan atau melanjutkan pembelajaran ke peringkat yang lebih tinggi setanding dengan bahasa lain.\nMengulas lebih lanjut, Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu melalui sidang 14 tersebut memperlihatkan kesungguhan Keluarga Malaysia bersama-sama memperkukuh agenda kerajaan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, seiring dengan hasrat Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob untuk melonjakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN." "Bahasa Melayu dari Malaysia ke Serantau dan Antarabangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu dengan tema \u201cMengangkat Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN dan Antarabangsa\u201d yang berlangsung pada 22 hingga 24 Mei 2022 di Wisma DBP, Kuala Lumpur menjadi penanda aras dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN dan bahasa antarabangsa.\nSimposium yang berlangsung menjadi arena kepada ahli akademik, sasterawan, cendekiawan, pejuang bahasa, sarjana, agamawan dan sebagainya untuk menyampaikan cadangan dan pandangan untuk memperkasakan dan memartabatkan kedudukan dan penggunaan bahasa Melayu di persada dunia. Sidang 15 yang berlangsung pada hari terakhir simposium menampilkan barisan panel yang terdiri daripada YBhg. Profesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Isahak Haron (Malaysia), YBhg. Profesor Dr. Asyraf Hj. Ab. Rahman (Malaysia), YBhg. Profesor Dr. Zakaria Ali (Malaysia) dan YBhg. Dato\u2019 Seri Sidek Saniff (Singapura). Manakala, moderator dalam sidang tersebut pula ialah YBhg. Profesor Madya Dr. Arba\u2019ie Sujud (Universiti Putra Malaysia).\nMelalui tajuk \u201cBahasa, Pendidikan dan Pemikiran\u201d, YBhg. Profesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Isahak Haron berkata, pada asasnya bahasa mempengaruhi pemikiran, dan pemikiran (idea, konsep, teori) pula mempengaruhi perkembangan bahasa. Tambah beliau lagi, bagi aspek pedagogi yang kreatif untuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) mata pelajaran Bahasa Melayu, kemahiran berbahasa perlu diajar kerana pedagogi PdP yang sempit membawa kepada perkembangan pemikiran pelajar yang terhad dan sempit. Dalam erti kata lain, inti sari PdP Bahasa Melayu perlu merangkumi karya sastera, sains, sains sosial, ekonomi, politik, budaya dan sebagainya, di samping penggunaan secara bermakna dan kreatif untuk mengembangkan pemikiran pelajar.\nMenurut YBhg. Profesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Isahak Haron, bagi aspek pengaruh bahasa keluarga pula, kerencatan atau penghalang dalam perkembangan pembelajaran dan pemikiran pelajar berlaku apabila pelajar sukar untuk memahami perkara yang ditutur oleh orang lain seperti guru atau tidak faham akan perkara yang dibaca.\nYBhg. Profesor Dr. Asyraf Hj. Ab. Rahman pula menjelaskan tentang keutamaan memperbanyak karya bahasa Melayu yang berkualiti dan bermutu tinggi yang diterjemahkan ke dalam bahasa asing bagi mengembangkan dan meningkatkan tahap penggunaan dan pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat asing khususnya di luar negara.\nBeliau turut menjadikan sistem penterjemahan pada zaman pemerintahan kerajaan Bani Abbasiyah sebagai model terbaik bagi mengembangkan dan memperkasakan bidang penterjemahan karya bahasa Melayu di Malaysia.\n\u201cTerdapat beberapa pendekatan untuk sistem penterjemahan, antaranya termasuklah kaedah penyerapan untuk mengembangkan khazanah tradisi ilmu sehingga berupaya membuka ruang kepada bangsa asing untuk mengenali, meminati, membaca dan mempelajari karya-karya hasil terjemahan bahasa Melayu,\u201d kata YBhg. Profesor Dr. Asyraf Hj. Ab. Rahman.\nYBhg. Profesor Dr. Asyraf Hj. Ab. Rahman turut menyeru kepada semua para cendekiawan, sarjana dan ahli akademik di Malaysia supaya memperbanyak usaha menulis karya ilmu dalam bahasa Melayu yang merangkumi semua aspek bidang keilmuan agar penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat asing dan para ilmuwan dunia semakin meluas dan dapat dimartabatkan hingga ke persada antarabangsa.\nSementara itu, YBhg. Profesor Dr. Zakaria Ali dengan tajuk kertas kerjanya, iaitu \u201cBahasa Melayu Alat Bercerita\u201d, menekankan tentang bahasa Melayu sebagai karya seni yang perlu dijaga dan dipelihara. Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa seni dan bahasa saling melengkapi menuju ke arah penghayatan.\n\u201cMelalui wadah bahasa, watak dan perwatakan yang pelbagai seperti zalim, kejam, setia, bodoh dan derhaka dapat dirakam. Bahasa Melayu itu berkuasa mengolah tema silam yang bersifat legenda dan juga kejadian seharian yang konkrit di samping tinggi adabnya, halus sebutannya, dan lancar naratifnya,\u201d ujar YBhg. Profesor Dr. Zakaria Ali.\nBerkaitan dengan keutamaan \u201cBahasa Melayu dan Pengukuhan Melalui Undang-Undang\u201d yang perlu dikuatkuasakan dalam sesebuah negara, YBhg. Dato\u2019 Seri Sidek Saniff menjelaskan bahawa kedudukan bahasa Melayu di Singapura terjamin dengan pengiktirafannya sebagai bahasa kebangsaan Singapura yang termaktub dalam Perlembagaan Republik Singapura.\nMenurut YBhg. Dato\u2019 Seri Sidek Saniff, lagu kebangsaan negara Singapura juga dalam bahasa Melayu dan masyarakat Singapura yang majmuk terdedah kepada bahasa Melayu sejak kecil lagi. Selain itu, Singapura juga memperkenalkan Bulan Bahasa sejak tahun 1988 dengan tujuan untuk menggalakkan masyarakat Singapura mempraktikkan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian mereka. Di samping itu, antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Singapura bagi memperkasakan lagi penggunaan bahasa Melayu termasuklah memperkenalkan gerbang laman Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), iaitu www.bahasawan.org sebagai satu wadah untuk para pelajar, pendidik, penulis dan masyarakat yang lain aktif mempelajari dan berinteraksi dalam bahasa Melayu.\n\u201cKetiga-tiga Perdana Menteri Singapura juga fasih bertutur dalam bahasa Melayu. Mereka berasa selesa berkomunikasi dalam bahasa Melayu termasuklah dalam majlis-majlis rasmi seperti hari kemerdekaan, hari rapat umum tahunan serta semasa berkempen pilihan raya. Para menteri yang bukan berbangsa Melayu juga mahir bertutur dan berucap dalam bahasa Melayu,\u201d ujar YBhg. Dato\u2019 Seri Sidek Saniff.\nDapat disimpulkan bahawa pelbagai usaha dapat dilaksanakan untuk mengembangkan dan memperkasakan bahasa Melayu. Dengan tekad yang jitu dan usaha yang berterusan yang dilaksanakan oleh semua pihak, bahasa Melayu berupaya untuk dikembangkan dari Malaysia ke serantau ASEAN seterusnya ke peringkat antarabangsa." "Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu 2022 Melabuhkan Tirai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Majlis Penutupan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu 2022 dengan tema \u201cMengangkat Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN dan Antarabangsa\u201d yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 22 hingga 24 Mei 2022 di Wisma DBP telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Seri Mohd Zuki Ali sekali gus berjaya merealisasikan hasrat YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia.\nSebanyak tiga ucap utama dan 15 sidang pembentangan kertas kerja yang melibatkan 67 tokoh akademik, sarjana, cendekiawan dan sasterawan dari pelbagai negara ASEAN telah dilaksanakan dalam simposium ini.\nYBrs. Dr. Kamarul Zaman Haji Yusoff, Pengarah Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu 2022 berkata dalam ucapan alu-aluannya, simposium ini menjadi wadah ilmu bagi ahli akademik dan tokoh tersohor mewacanakan kepentingan pengantarabangsaan bahasa Melayu serta membincangkan usaha-usaha pemartabatan bahasa Melayu di negara ini dan seantero dunia.\nGimik Penyerahan Resolusi Simposium telah disampaikan oleh YBrs. Dr. Kamarul Zaman Haji Yusoff kepada YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Seri Mohd Zuki Ali.\nMenurut YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Seri Mohd Zuki Ali ketika berucap semasa merasmikan majlis penutupan, bahasa Melayu mempunyai peranan yang begitu signifikan kepada pembinaan bangsa Malaysia, ketamadunan dan peradaban kita.\nKita harus berterima kasih kepada pejuang bahasa dan bangsa Melayu, khususnya sewaktu negara di ambang merdeka. Hal ini demikian kerana dengan hasil perjuangan, titik peluh dan keringat merekalah, akhirnya bahasa Melayu diisytiharkan sebagai bahasa kebangsaan dan termaktub dalam Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan.\nOleh hal yang demikian, gerakan memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam kalangan agensi dan penjawat awam perlu diberikan keutamaan tertinggi. Tambah beliau, pihak kerajaan akan mengeluarkan arahan dari semasa ke semasa bagi menegaskan komitmen dalam memastikan keutamaan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan penjawat awam sentiasa berada pada tahap terbaik, sekali gus akan melipatgandakan usaha untuk menjadikan Perkhidmatan Awam Malaysia sebagai suri teladan pengguna bahasa kebangsaan yang baik dan betul kepada sektor lain.\n\u201cHal ini bukanlah bertujuan untuk menakut-nakutkan penjawat awam, sebaliknya untuk memastikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak dicabul penggunaannya dengan sewenang-wenangnya,\u201d kata beliau.\nSelain itu, YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Seri Mohd Zuki Ali turut mencadangkan agar institusi pengajian tinggi (IPT) dan badan berautoriti mengambil inisiatif untuk melaksanakan semula Kursi Pengajian Melayu di universiti dan IPT di benua terpilih, menghantar tenaga pengajar bahasa Melayu di institusi tertentu yang memerlukan khidmat demikian di serata dunia, dan meluaskan fungsi pejabat kedutaan Malaysia di seluruh dunia untuk memartabatkan lagi bahasa Melayu.\nMengakhiri ucapan perasmian, YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Seri Mohd Zuki Ali menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan\u00a0kepada pihak penganjur dan peserta yang terlibat dalam penganjuran Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu 2022.\nMajlis perasmian penutupan bertambah seri dengan persembahan silat daripada Persatuan Silat Seni Cekak Ustaz Hanafi Malaysia dan persembahan deklamasi puisi daripada YBhg. Dato\u2019 Rahman Shaari, penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara 2007.\nTurut hadir dalam majlis ini ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan merangkap Pengerusi Bersama Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu dan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, dan Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. \u00a0Shokeran." "\u201cMartabatkan Bahasa Melayu dan Sastera Tempatan\u201c-Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPadang Besar-Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitah ingatkan bahawa usaha memartabatkan bahasa Melayu dan sastera tempatan seharusnya dimainkan oleh semua pihak.\nBahasa Melayu pernah diiktiraf sebagai lingua franca suatu ketika dahulu dan dituturkan secara meluas. Malah, bahasa Melayu juga terbukti sebagai bahasa ilmu dan sumber penyatuan bangsa. Manakala sastera Melayu sangat kaya dengan elemen tempatan yang menjadikannya begitu unik di mata dunia.\nDemikian titah baginda selepas berkenan berangkat menghadiri \u201cProgram Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke-18 Bagi Tahun 2022\u201c yang diadakan di Masjid Al Nur, Kampung Chantik, Padang Besar (Utara) baru-baru ini.\nSempena program tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyerahkan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM12 000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid tersebut untuk diagihkan melalui amilnya Ustaz Mohd Fadzil Seman. Setiap seorang akan menerima RM400.\nMenyentuh mengenai kepentingan keupayaan bahasa Melayu di persada antarabangsa, Tuanku Syed Faizuddin Putra menitahkan bahawa bahasa Melayu telah diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Sastera Melayu pula menjadi warisan dan teras negara bangsa sejak zaman-berzaman.\nJelas Tuanku Raja Muda lagi,\nKita sememangnya perlu berbangga dengan karya agung terdahulu seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa dan lain-lainnya. Inti pati karya sastera tempatan ini sebenarnya sarat dengan elemen nilai yang menjadi lambang jati diri Melayu." "Bangga, Sayang dan Setia terhadap Bahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bahasa Melayu pernah melalui zaman kegemilangan sebagai bahasa pentadbiran, bahasa diplomasi, bahasa undang-undang, bahasa ilmu dan falsafah, bahasa perdagangan, bahasa ketatanegaraan dan bahasa sastera tinggi semasa zaman kesultanan Melayu Melaka dari abad ke-13 hingga abad ke-19. Menyedari akan hakikat ini, usaha untuk terus meletakkan kedudukan bahasa Melayu pada kedudukan tertinggi tidak pernah dikesampingkan oleh pejuang bahasa. Terkini, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai rakan kerjasama mengadakan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu demi mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN dan antarabangsa.\nSimposium ini disifatkan sebagai usaha Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob yang menjelaskan bahawa penggunaan bahasa Melayu dalam siri lawatan beliau ke negara ASEAN dan di negara lain bermula mulai tahun ini.\nSebelum acara penutup yang menyaksikan penyerahan resolusi simposium kepada Ketua Setiausaha Negara, sebuah forum khas bertajuk \u201cBahasa Melayu Menuju Globalisasi\u201d telah diadakan. Forum ini menampilkan lima orang ahli panel dengan Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran bertindak sebagai pemudah cara.\nMalaysia diwakili oleh Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) UKM, YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato\u2019 Dr. Ibrahim Shah Abu Shah, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, dan YBhg. Profesor Datuk Dr. Raduan Che Rose, Presiden Majlis Profesor Negara. Sementara itu, Perancis diwakili oleh YBhg. Profesor Dr. Laurentt Metzger dan Indonesia diwakili oleh YBhg. Profesor Madya Dr. H. Abdul Malik dari Universiti Maritim Raja Ali Haji.\nPada awal perbincangan forum, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin selaku moderator sesi forum mengajukan persoalan tentang cara negara seperti Malaysia, Indonesia atau negara kecil yang lain mengantarabangsakan negara mereka. Pentas forum dibuka oleh panel pertama, YBhg. Profesor Dr. Laurent Metzger yang menyatakan bahawa jurang antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris memang berlaku di negara ini. Pada masa yang sama, rakyat Malaysia perlu menerima bahasa lain yang berada dalam rumpun yang sama contohnya bahasa Indonesia.\n\u201cTidak ada sesiapa yang boleh menafikan bahawa bahasa Indonesia itu ialah bahasa Melayu. Beliau juga menegaskan bahawa syarat untuk bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi ASEAN turut memerlukan pelaburan khasnya apabila berlaku persidangan antarabangsa. \u201cSebagai contoh, apabila berlaku persidangan antarabangsa yang melibatkan penggunaan bahasa Melayu, khidmat penterjemah perlu disediakan. Biarpun\u00a0 melibatkan kos yang tinggi, namun jika hal tersebut dilakukan, maruah bahasa Melayu juga akan lebih tinggi nilainya,\u201d ujar beliau yang \u00a0menerima tepukan gemuruh daripada peserta usai melontarkan pandangan tersebut.\nYBrs. Prof. Madya Dr. Malik pula menyatakan bahawa bahasa Melayu menjadi faktor utama Indonesia meraih kemerdekaan pada 17 Ogos 1945. \u201cTidak ada seorang pun rakyat Indonesia yang tidak boleh berbahasa Melayu,\u201d jelas beliau. Menurutnya, rakyat Indonesia akan menggunakan bahasa tersebut mengikut dialek masing-masing. Beliau turut menjelaskan bahawa dalam apa-apa urusan pun, rakyat Indonesia tidak boleh menggunakan bahasa asing. \u201cSesungguhnya bahasa Indonesia itu ialah bahasa Melayu yang diangkat menjadi bahasa Indonesia,\u201d tambah beliau.\n\u201cKeazaman politik perlu dijadikan asas utama jika mahu mengangkat bahasa Melayu ke tempat yang lebih tinggi bukan sahaja dalam arena tempatan, malah hingga ke persada antarabangsa,\u201d demikian jelas YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Ibrahim Shah Abu Shah yang menyatakan bahawa pihak kerajaan perlu mempamerkan kesungguhan untuk mendaulatkan bahasa Melayu di negara ini. Beliau juga menyentuh sikap segelintir masyarakat yang tidak memiliki sifat patriotik dengan sentiasa menolak aspirasi kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Beliau juga turut menyentuh kedudukan bahasa Melayu yang dipandang rendah sebelum ini dengan perbuatan yang mencalarkan maruah bahasa Melayu itu sendiri.\n\u201cKita menyokong aspirasi Perdana Menteri dan usaha yang ada perlu digembleng. Namun begitu, bahasa Melayu perlu dihormati pada peringkat negara terlebih dahulu sebelum diiktiraf pada peringkat antarabangsa,\u201d ujar beliau. Beliau juga turut menyatakan bahawa golongan yang mengkhianati usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu wajar dianggap sebagai petualang. Tambah beliau, \u201cSebagai perbandingan, ada yang sudah 50 tahun menjadi rakyat Malaysia, tetapi tidak mampu berbicara dalam bahasa Melayu berbanding dengan golongan imigran yang pada hari pertama menjejakkan kaki di Malaysia sudah mampu menghafal enam perkataan yang menjadi perbualan asas di negara ini.\u201d\nJelas YBhg. Profesor Datuk Dr. Raduan Che Rose, \u201cPerjuangan bahasa Melayu di negara ini kekal menjadi polemik yang masih terbelit.\u201d Menurut beliau, aspirasi yang sedang diusahakan oleh Perdana Menteri mampu mengangkat bahasa Melayu ke tahap tertinggi. \u201cKita perlu perjelaskan dan tetapkan pendirian tanpa perlu bertelagah. Kedudukan bahasa Melayu di negara kini melambangkan jurang yang sangat besar antara aspirasi dengan realiti yang kita hadapi sekarang,\u201d luah YBhg. Profesor Datuk Dr. Raduan. Bagi beliau, usaha yang lebih strategik perlu dilakukan supaya tumpuan terhadap bahasa Inggeris tidak menjadi agenda utama masyarakat di negara ini. \u201cSatu kerangka perundangan perlu dilakukan dari segi perlembagaan, Akta Pendidikan dan Akta DBP sendiri. Pastikan ketetapan penggunaan bahasa Melayu itu tanpa adanya ruang untuk bertolak ansur lagi selepas ini,\u201d tegas beliau.\nBagi YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong pula, beliau berpandangan bahawa telah banyak yang diperkatakan oleh masyarakat berkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu.\u201cUsaha ini perlu diiringi dengan perancangan yang lebih rapi untuk menyebarluaskan bahasa Melayu. Jika boleh, kita mahu jadi seperti Indonesia yang bangga, sayang dan setia terhadap bahasa kebangsaan mereka. Namun begitu, di Malaysia hal ini tidak berlaku,\u201d luah beliau. Beliau juga tidak menafikan peranan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa yang perlu dikuasai, namun bahasa Melayu itu perlu diperkukuh terlebih dahulu. \u201cOrang Melayu perlu menunjukkan teladan yang baik. Jika penutur jati tidak mampu membela bahasanya sendiri, apakah yang hendak diharapkan daripada bangsa lain?\u201d soal beliau. \u201cJika terdapat waima seorang pun dalam kalangan rakyat yang mempertikaikan usaha mendaulatkan bahasa Melayu, maka usaha yang dibina itu tidak akan berjaya,\u201d ujar beliau.\n\u201cBahasa Melayu hanya tersebar luas apabila dipelajari oleh lebih daripada 100 buah universiti sebagai bahasa asing termasuklah dituturkan oleh 300 juta orang. Namun, masih belum mencapai tahap pengantarabangsaan. Oleh hal yang demikian, bahasa Melayu perlu berada dalam ranah antarabangsa sebagai bahasa komunikasi,\u201d ulas YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong apabila melihat kedudukan bahasa Melayu pada hari ini.\n\u201cPerlu diingatkan bahawa imej negara juga mampu meningkat dalam aspek bahasa apabila berkaitan dengan soal ekonomi dan perdagangan,\u201d cadang beliau. Dalam hal ini beliau menyifatkan bahawa negara perlu mereka bentuk barangan atau produk dalam bahasa Melayu supaya dapat dijual dan dipasarkan kepada negara antarabangsa agar mereka yakin dan berasakan bahawa produk itu penting dalam ranah antarabangsa. Begitulah cadangan yang dikemukakan oleh barisan ahli panel yang terlibat sebelum sesi forum khas ini berakhir pada petang tadi. Pada masa yang sama, masyarakat diseru agar bangga, sayang dan setia terhadap bahasa Melayu." "Menteri MOTAC Rasmi Persidangan Tahunan Perpustakaan Malaysia 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YB Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri telah merasmikan Persidangan Tahunan Perpustakaan Malaysia 2022 (PTPM 2022) yang dianjurkan oleh Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di Hotel Seri Pasific hari ini.\nBertemakan \u201cTiada Sesiapa yang Tertinggal: Perpustakaan Sebagai Agen Perubahan\u201d, YB Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri, PTPM 2022 berkata, usaha ini adalah sangat bertepatan dengan peranan perpustakaan sebagai pusat setempat bagi proses pengajaran, pembelajaran dan perkongsian ilmu sebagai tempat tumpuan kepada kanak-kanak, suri rumah tangga dan warga emas.\nPerpustakaan berperanan sebagai satu hab komuniti dan tempat pengumpulan sejarah tempatan dan warisan melalui perkongsian kisah hidup dalam bentuk sejarah lisan serta ekonomi yang boleh menjana pendapatan penduduk setempat.\n\u201cOleh itu, perpustakaan harus aktif memainkan peranan dalam pemeliharaan warisan budaya, seterusnya menyokong visi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya iaitu, Destinasi Lestari Kaya Budaya,\u201d ujar YB Dato\u2019 Sri Hajah dalam ucapan perasmian pada pagi tadi.\nSementara itu, beliau mencadangkan kepada pihak PNM supaya mewujudkan modul khusus untuk kursus bercerita agar penyampaian cerita bukan sahaja merangkumi sejarah berkenaan kisah tersebut, malah lebih daripada itu seperti memahami budaya masyarakat tertentu agar dapat menarik lebih ramai pengunjung ke negara kita.\nBersempena dengan PTPM 2022 ini, pertandingan poster yang terdiri daripada tiga kategori, iaitu Information Scientist, Young Explorer dan Junior Wizard untuk para akademia, industri perpustakaan, guru perpustakaan dan pengawas pusat sumber turut dianjurkan bagi mempamerkan inovasi dan rekaan yang dilakukan oleh pustakawan serta murid-murid sekolah.\nMOTAC berharap agar perpustakaan dalam negara dapat bersama-sama menggembleng tenaga untuk meneruskan usaha murni dalam membina masyarakat berilmu dan berdaya saing dengan melaksanakan pelbagai program galakan membaca yang melibatkan semua pihak.\nTurut hadir dalam memeriahkan Majlis Perasmian PTPM 2022 ialah Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Puan Siti Salasiah Abdul Wahab, Naib Presiden 1 Pustakawan Malaysia, Siti Sumaizan Ramli, Pengerusi PTPM 2022, Dr. Ghazali Mohd Fadzil, barisan Ahli Majlis PPM bagi penggal 2020 \u2013 2022, pembentang dan peserta persidangan." "Malaysia Peroleh Laba daripada Larangan Eksport Minyak Sawit Indonesia?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPresiden Indonesia, Joko Widodo, mengumumkan bahawa Indonesia akan menghentikan eksport minyak masak dan minyak sawit mentah ke luar negara bermula pada April lalu. Kesatuan Petani Kelapa Sawit Indonesia menyokong larangan kerajaan terhadap eksport kelapa sawit dan menyifatkannya sebagai langkah sementara yang perlu dilakukan.\nTindakan negara pengeluar kelapa sawit dan pengeksport terbesar dunia itu bertujuan memastikan bekalan dan harga mampu beli minyak masak di pasaran domestik. Indonesia merupakan negara pengeksport minyak sawit terbesar di dunia apabila pada tahun lalu, pengeluaran dan eksport minyak sawit Indonesia mewakili masing-masing 59 peratus dan 56 peratus daripada pengeluaran dan eksport minyak sawit dunia. Larangan eksport itu menyebabkan harga minyak kacang soya melambung ke paras tertinggi di tengah-tengah kebimbangan mengenai bekalan global minyak sayur-sayuran alternatif yang berkurangan.\nLangkah Indonesia seolah-olah akan memburukkan situasi kerana kekurangan bekalan\u00c2\u00a0 minyak masak mungkin boleh membawa kepada krisis kebuluran makanan di negara yang bergantung pada import minyak masak. Ketidakseimbangan permintaan dan penawaran dijangka akan menyebabkan harga minyak sawit dan minyak-minyak pesaing lain melonjak ke paras yang lebih tinggi. Langkah ini juga tidak seimbang kerana akan memberikan kesan besar untuk pasaran antarabangsa dan meninggalkan kesan kepada pendapatan pekerja, petani kecil dalam industri ladang dan industri minyak sawit di Indonesia.\nIndia, misalnya mengimport 50 peratus minyak sawit dari Indonesia. Dalam tempoh setahun, jumlah importnya dianggarkan sekitar lapan juta tan, iaitu mewakili sebanyak 40 peratus daripada jumlah minyak yang boleh digunakan untuk masakan. India ialah negara pengimport terbesar dunia dalam minyak masak sayuran. Apakah tindakan kerajaan India berikutan langkah Indonesia itu? Adakah New Delhi akan merujuk ke Malaysia untuk menambah eksport mintak sawit dari Malaysia?\nJika diteliti, dasar Indonesia itu telah dilaksanakan oleh beberapa buah negara termasuk Argentina yang mengenakan cukai eksport yang tinggi untuk masaknya, sementara Moldova, Hungary dan Serbia telah melarang eksport bijirin mereka. Negara Barat yang melaksanakan diskriminasi terpilih mereka terhadap minyak sawit atas alasan keradangan kepada kulit dan isu pekerja buruh paksa, serta isu perubahan iklim kini akur betapa pentingnya minyak sawit kepada dunia.\nKonflik Ukraine-Rusia juga telah menyukarkan pasaran minyak masak dunia. Rantau Laut Hitam sahaja memperuntukkan 76 peratus eksport minyak bunga matahari. Penghantaran melalui jalan laut ke rantau tersebut terjejas disebabkan pihak insurans mengenakan premium yang tinggi kesan daripada situasi perang yang menyebabkan kapal pengantar kargo minyak masak tidak mampu menanggung kosnya.\nKonflik kedua-dua negara ini memaksa kebanyakan negara pengimport minyak bunga matahari menukar kepada import minyak sawit. Ukraine dan Russia merupakan pengeksport terbesar minyak bunga matahari di dunia. Menurut the Observatory of Economic Complexity, laman sesawang visualisasi data untuk perdagangan antarabangsa, 46 peratus minyak bunga matahari diperoleh dari Ukraine dan 25 peratus dari Russia.\nPeningkatan dasar perlindungan makanan akan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan negara yang bergantung pada bahan makanan asas dan minyak masak seperti di Timur Tengah dan Afrika yang akan menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan dapat mencetuskan kekacauan.\nIsu minyak sawit ini mengingatkan saya tentang beberapa pihak yang ingin mengambil tindakan ke atas Malaysia berikutan isu pekerja yang dikatakan tidak mendapat layanan setimpal dan cadangan pihak berkuasa India untuk memboikot pembelian minyak sawit dari Malaysia. Hal ini ekoran kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meminta India bekerjasama dengan Pakistan bagi menyelesaikan konflik dua buah wilayah berkenaan ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-74 pada 24 hingga 28 September 2020.\nAdakah dengan tindakan Indonesia itu akan mendatangkan laba bagi Malaysia untuk meningkatkan pengeluarannya untuk menjadi pengeksport utama minyak masak pula?Apakah langkah Malaysia bagi mengimbangi kekurangan minyak kelapa sawit dunia berikutan tindakan Indonesia itu?\nTimbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata, kesan jangka pendek tentunya menyebabkan negara pengimport mengalihkan pandangan ke arah Malaysia. Namun begitu, Malaysia berdepan dengan cabaran disebabkan isu kekurangan tenaga buruh yang menyebabkan Malaysia tidak mampu menampung permintaan tinggi ekoran langkah yang diambil Indonesia itu.\nJeck Seng berkata, pada ketika ini pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) yang mampu dikeluarkan Malaysia setahun adalah sekitar 17 juta tan disebabkan faktor kekurangan tenaga pekerja dalam sektor perladangan. Menurut beliau, peningkatan permintaan eksport itu mampu memberi cabaran kepada industri hiliran sawit tempatan di Malaysia berikutan persaingan untuk mendapatkan bekalan bahan mentah. Jelas beliau, Malaysia masih bergantung pada permintaan dan penawaran minyak sawit dunia dan keperluan bagi pasaran tempatan pula hanyalah sebanyak satu juta tan setahun bagi pengeluaran minyak masak bersubsidi.\nSehubungan dengan itu, sebagai negara pengeluar dan pengeksport utama minyak sawit dan produk-produk hiliran berasaskan sawit, kerajaan akan melindungi kelangsungan dan kebolehsaingan industri sawit tempatan pada peringkat global termasuklah industri hiliran.\nMalaysia harus merancang strategi bagi meningkatkan eksport minyak sawitnya ke pasaran dunia dan memikirkan pelan perancangan jangka masa pendek dan panjang berhubung dengan isu ini.\n\u00a0\nPenulis, Pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (UniSEL)." "KPM Perkenalkan Konsep Sekolahku SEJAHTERA di Forum Pendidikan Dunia, London\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk Dr. Radzi Jidin bersama-sama delegasi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membawa konsep Sekolahku SEJAHTERA dalam Forum Pendidikan Dunia 2022 (EWF 2022) yang berlangsung di London, United Kingdom semalam.\nMenurut Datuk Dr. Radzi Jidin, pendekatan konsep Sekolahku SEJAHTERA secara keseluruhannya telah disambut baik oleh panel dan delegasi semasa pembentangannya dalam sesi \u201cMinisterial Exchange\u201d, yang membincangkan topik bertajuk, Should social and emotional learning (SEL) come first?.\nDalam pembentangan berkenaan, saya menjelaskan bahawa kita tidak seharusnya memberi keutamaan hanya kepada aspek atau komponen tertentu dalam pendidikan anak-anak.\n\u201cPerkara yang paling penting adalah untuk mencari pendekatan seimbang dalam semua aspek pembelajaran, termasuklah SEL,\u201d ujar beliau dalam hantaran di Facebooknya pada petang tadi.\nMengulas lebih lanjut dalam forum berkenaan, beliau yakin dan percaya bahawa penerapan konsep Sekolahku SEJAHTERA secara semula jadi mampu melahirkan generasi pewaris negara yang hebat.\nDatuk Dr. Radzi Jidin turut menjelaskan bahawa SEL merupakan antara komponen yang diambil kira oleh KPM dalam membangunkan konsep Sekolahku SEJAHTERA.\nSecara keseluruhannya, beliau berkata, delegasi melihat konsep itu sebagai satu pendekatan yang menyeluruh dalam membentuk kemenjadian murid." "Tempoh Perkhidmatan Guru Interim Dilanjutkan Satu Tahun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa perkhidmatan guru interim bagi lantikan tahun 2019 dilanjutkan pada tempoh satu tahun lagi.\nMenurut KPM, pelanjutan tempoh ini dilakukan adalah untuk membantu para guru dalam urusan temu duga dan mendapat jawatan lantikan tetap, khususnya kepada guru yang telah memenuhi syarat Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).\nKPM turut menegaskan bahawa guru interim lantikan sebelum tahun 2019 perlu memastikan syarat-syarat lantikan Skim Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) dipenuhi.\n\u201cSyarat ini penting bagi membolehkan perakuan dibuat oleh KPM sebelum dikemukakan kepada SPP untuk urusan temuduga dan lantikan tetap,\u201d kata KPM dalam kenyataan media pada hari ini." "\u201cJangan Ada Sikap Bertangguh\u201d \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 \u201cJangan ada sikap bertangguh atau \u2018nanti dulu\u2019, kerana perkara ini akan mengubah persepsi pelajar dalam melihat sesuatu perkara, secara tidak langsung merosakkan fokus dan sasaran untuk menjadi pelajar yang terbaik,\u201d titah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizzuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) baru-baru ini.\nMenurut baginda, mahasiswa di institut pengajian tinggi (IPT) bakal menjadi seorang dewasa dan perlu didedahkan kepada perkara baharu yang memerlukan komitmen dan tanggungjawab agar dapat menggunakan nilai tambah tersebut dalam mengharungi kehidupan masa depan.\nBaginda turut menyarakan agar pelajar sentiasa menjaga tingkah laku apabila berinteraksi dengan guru atau pensyarah sekiranya mempunyai masalah atau persoalan yang tidak jelas.\nPada masa yang sama, baginda bertitah, \u201cTidak semua yang dilihat itu indah dan cantik. Oleh itu, pelajar harus memahami dan mengambil tahu risiko dan implikasi daripada setiap keputusan yang diambil kerana itulah \u2018kunci\u2019 untuk menjadi seorang insan yang berjaya kelak.\u201d\nProgram agihan zakat MAIPs tersebut melalui program kayuhan \u201cMAIPs Peduli\u201d telah diadakan di sekitar Kampung Ujung Bukit dan Kampung Nesam kepada tiga orang asnaf terpilih, iaitu Jukhairi Abidin, Abu Seman Suberi Ibrahim dan Azizis Kassim.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra, merangkap Yang Dipertua MAIPs turut berkenan merasmikan projek pembangunan sosioekonomi MAIPs berupa perniagaan kedai makan yang diusahakan oleh Nor Sharizan Shaaban yang merupakan peserta dalam program Latihan Pembangunan Usahawan (LPU) MARA/MAIPs sebelum ini.\nBeliau telah menerima bantuan untuk membeli peralatan kedai bernilai RM8300 daripada MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM). Perasmian simbolik tersebut diadakan di Taman Buah-buahan Eksotik, Jabatan Pertanian Negeri di Sungai Batu Pahat." "Shazmi Salur Biasiswa RM22\u00a0Ribu kepada Pelajar UUM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAlumni UUM, Shazmi Ali Sardar Ali memperuntukkan sebanyak RM22\u00a0000 sebagai biasiswa kepada 11 pelajar untuk terus melanjutkan pengajian\u00a0di UUM\u00a0dengan lebih bersemangat.\nNaib Presiden SHELL Malaysia, merangkap Profesor Adjung School of Business Management (SBM) dan Ahli Majlis Eksekutif Persatuan Alumni UUM,\u00a0berharap usaha yang dilakukan ini dapat menjadi pemangkin dan inspirasi kepada lebih ramai alumni untuk tampil memberikan\u00a0sumbangan.\nSaya sebenarnya segan untuk memberikan ucapan, tetapi apabila memikirkan apa perkara ini dapat dijadikan sebagai contoh kepada alumni di luar sana untuk turut sama menyumbang bakti pada UUM dalam pelbagai kaedah sama ada kewangan, atau perkhidmatan, saya jadi bersemangat.\n\u201cSaya teringat nasihat ibu semasa kecil, kalau kita buat baik, jangan cerita pada orang bak kata pepatah \u2018tangan kanan memberi, tangan kiri tak tahu dan saya rasa\u00a0 ramai di luar sana yang ingin memberikan sumbangan, tetapi mereka tidak tahu cara dan saluran mana yang harus dituju.\nUjarnya, UUM jauh berbeza berbanding dengan era ketika beliau menjadi pelajar sewaktu tahun 1999 serta menyifatkan UUM dari dulu sampai sekarang kuat dari segi akademik, kokurikulum dan paling penting\u00a0ialah\u00a0integriti.\n\u201cZaman sekarang hendak mencari orang yang pandai senang, tetapi hendak mencari orang yang berintegriti susah. Jadilah manusia yang baik, maju walau apa-apa sekalipun dan reda ibu bapa amat penting kerana apabila mereka bangga dengan kita itulah sebenar-benarnya kejayaan.\n\u201cJangan malas membaca\u00a0dan\u00a0kedekut ilmu. Jadilah orang yang merendah diri\u00a0dan tidak bangga diri. Apabila berjaya, hal ini\u00a0bukanlah bererti kita orang yang paling rajin atau bijak,\u00a0tetapi kita hanya mendapat rezeki daripada Tuhan,\u201d ucapnya dalam Majlis Penyerahan Biasiswa Alumni UUM dan Hi-Tea Raya Pusat Alumni yang berlangsung di Dewan Sri Angsana, Hotel EDC UUM, semalam.\nSementara itu, Pengarah Pusat Alumni UUM, Profesor\u00a0Madya Dr.\u00a0Lily Julienti Abu Bakar berkata, sejarah Biasiswa Alumni bermula pada tahun 2021 apabila Shazmi menyatakan hasrat untuk memberikan sumbangan biasiswa kepada pelajar dan memandangkan beliau merupakan alumni UUM, maka Pusat Alumni menguruskan biasiswa ini.\n\u201cHari ini, kita sangat bertuah kerana Shazmi Ali yang sanggup datang dari jauh dan meluangkan masa ke UUM untuk bertemu dengan pelajar dan menyampaikan sumbangan biasiswa kepada 11 pelajar terpilih,\u201d kata beliau dalam program anjuran Pusat Alumni dengan kerjasama Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan\u00a0itu.\nPenerima biasiswa, pelajar Sarjana Muda Perbankan, Previna A/P Marimuthu\u00a0 mengakui\u00a0 agak\u00a0terkejut apabila terpilih untuk mendapatkan\u00a0peluang keemasan ini serta merancang untuk menggunakan biasiswa ini bagi keperluan pembelajaran,\u00a0misalnya membeli buku dan membaiki komputer riba yang rosak.\n\u201cSaya amat berterima kasih pada Tuan Shazmi Ali yang memberikan\u00a0peluang untuk mendapatkan biasiswa ini,\u00a0malah saya juga akan sentiasa ingat pesanannya agar menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan,\u201d kongsinya.\nPelajar Sarjana Muda Keusahawanan, Muhammad Aiman Firdaus Mohd Izam menyambut baik program Biasiswa Alumni sebagai platform bagi pelajar\u00a0UUM\u00a0lebih mengenali alumni mereka yang telah berjaya dan dijadikan\u00a0sebagai contoh teladan mencapai kejayaan.\n\u201cAlhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana menerima biasiswa dan jutaan terima kasih atas tajaan ini. Saya akan berusaha untuk belajar bersungguh-sungguh dan melakukan perkara yang sama seperti beliau pada satu hari nanti,\u201d ujarnya." "Buli: Mengapakah Hanya Berdiam Diri?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBayangkan jika anda sedang bekerja dan pada masa yang sama menyaksikan rakan sekerja berulang kali membuli rakan sekerja lain. Apakah yang anda akan lakukan?\nWalaupun ramai antara kita berfikir bahawa kita akan campur tangan untuk menghentikan perbuatan tersebut, namun tinjauan menunjukkan bahawa kebanyakan pekerja yang menyaksikan situasi buli, dikenali sebagai \u201cpemerhati\u201c kerana tidak bertindak balas untuk membantu mangsa.\nSebanyak 60 peratus pekerja di sesetengah tempat dilaporkan tidak melakukan apa-apa apabila menyaksikan kejadian buli. Akan tetapi, mengapakah perkara ini berlaku dan apakah akibatnya?\nKejadian buli di tempat kerja berlaku apabila pekerja tertakluk pada tingkah laku berulang yang mengganggu, mengecualikan atau menjejaskan kerja seseorang secara negatif. Perkara ini mungkin melibatkan tindakan keganasan fizikal yang jelas terhadap tingkah laku yang lebih samar-samar, seperti mengejek, menghina atau mengecualikan seseorang secara sosial.\nBudaya buli boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal mangsa secara serius dengan kes ekstrem yang menyebabkan kecederaan atau bunuh diri. Secara purata, kejadian buli di tempat kerja menjejaskan sekitar 15 peratus orang, walaupun sesetengah sektor seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan tinggi melaporkan kadar kes yang lebih tinggi.\nKesan Pengabaian Kejadian Buli\nKes buli di tempat kerja secara tradisinya dilihat sebagai isu yang hanya melibatkan mangsa dan pembuli. Maka, hal ini perlu ditangani dengan sebaik-baiknya. Namun begitu, kejadian buli sering berlaku di hadapan orang lain. Tinjauan menunjukkan 83 peratus pekerja dalam sesetengah organisasi membuat laporan menyaksikan buli di tempat kerja.\nMenyaksikan kejadian buli boleh memudaratkan kesejahteraan pemerhati sendiri dan merangsang ketakutan tentang cara layanan yang akan diterima pada masa hadapan. Namun begitu, cara pemerhati sesuatu kes buli dalam bertindak balas terhadap kejadian itu mungkin boleh membantu atau memburukkan lagi keadaan mangsa.\nDalam kajian baru-baru ini, pengkaji telah meminta pekerja di sebuah universiti untuk menjawab soalan tentang pengalaman mereka dalam kes buli, sama ada sebagai mangsa atau penonton. Kajian menunjukkan mangsa buli mengalami kesan yang lebih rendah apabila mereka mempunyai pemerhati yang campur tangan dan membantu secara aktif. Sebaliknya, mangsa dalam kumpulan dengan pemerhati yang tidak melakukan apa-apa menerima impak yang tinggi. Kajian mencadangkan bahawa hal ini berlaku kerana mangsa dalam situasi ini bukan sahaja perlu menangani kejadian buli itu sendiri, malah juga perlu memahami punca yang\u00a0 menyebabkan orang lain tidak bertindak balas sehingga menambahkan lebih banyak tekanan. Sehubungan dengan itu, pemerhati atau orang yang melihat kejadian buli merupakan pihak utama yang dapat membantu mencegah budaya membuli di temapt kerja.\nPenyelidik telah mencadangkan bahawa maklum balas orang ramai terhadap kes buli di tempat kerja boleh dikategorikan melalui dua cara, iaitu aktif berbanding dengan pasif, dan membina berbanding dengan merosakkan. Cara pertama, mereka menerangkan betapa proaktifnya tindak balas dalam menangani situasi buli, manakala yang kedua menunjukkan sama ada tindak balas itu bertujuan untuk memperbaik atau memburukkan keadaan bagi sasaran.\nPemerhati juga boleh dikelaskan kepada empat golongan. Terdapat pemerhati aktif-konstruktif, yang secara proaktif dan secara langsung berusaha untuk memperbaiki keadaan buli, iaitu melaporkan perbuatan pembuli atau berhadapan dengan mereka.\nTerdapat juga pemerhati pasif-konstruktif yang tidak langsung \u201cmenyelesaikan\u201c kes buli, tetapi mendengar atau bersimpati dengan sasaran.\nSebaliknya, pemerhati pasif-destruktif pada kebiasaannya mengelak daripada kes buli dan \u201ctidak berbuat apa-apa\u201c. Sasaran mungkin melihat tindak balas pasif sebagai tindak balas dalam membenarkan tindakan pembuli.\nAkhir sekali, pemusnah-pemerhati yang aktif akan memburukkan lagi keadaan dalam kes buli. Sebagai contoh, mereka secara terbuka berpihak kepada pembuli atau menyediakan situasi apabila pembuli boleh memilih mangsa. Golongan ini berpotensi menjadi pembuli sekunder.\nPsikologi di sebalik \u201cPemerhatian\u201c\nMengapakah ramai orang gagal campur tangan apabila menyaksikan sesuatu kejadian yang mereka maklum adalah salah atau berbahaya?\nTeori yang paling terkenal untuk menjelaskan fenomena tersebut dikenali sebagai kesan pemerhati, yang telah diilhamkan dari pembunuhan Kitty Genovese.\nKitty ialah seorang wanita muda di New York yang mati ditikam pada tahun 1960-an di luar bangunan pangsapurinya, pada saat 38 penduduk lain memerhatikan kejadian tersebut dari tingkap mereka. Pada mulanya, dilaporkan bahawa tidak ada seorang pun campur tangan atau menghubungi polis dan menunjukkan tindak balas pasif-destruktif, walaupun cerita ini dan teori itu sendiri telah dicabar. Walau bagaimanapun, kesannya dilihat dalam situasi yang samar-samar, seperti buli yang tidak memerlukan bantuan kecemasan perubatan.\nPemerhati menerangkan tindakan mereka dengan mencadangkan bahawa seseorang\u00a0 itu kurang berkeyakinan untuk membantu dengan kehadiran orang lain. Hal ini membuatkan mereka berasa kurang bertanggungjawab secara peribadi untuk bertindak, terutamanya dalam situasi yang tidak jelas.\nDalam satu kajian baru-baru ini, pengkaji cuba menyelidik dengan lebih mendalam proses psikologi yang mendasari tingkah laku pemerhati. Kejadian buli selalunya subjektif, dengan mengambil kira pandangan individu dalam membuat tafsiran terhadap suatu situasi yang sama secara berbeza. Oleh itu, pengkaji berminat untuk memahami tafsiran yang membawa kepada tindak balas konstruktif aktif, iaitu melalui pendekatan yang paling membantu.\nDalam mendapatkan tindak balas aktif-konstruktif, pemerhati mesti menganggap bahawa insiden itu cukup teruk untuk menjamin campur tangan. Hal ini boleh menjadi samar-samar, sama ada adakah kenyataan itu hanya gurauan atau sesuatu yang lebih daripada itu? Seterusnya, pemerhati mesti berpendapat bahawa mangsa tidak layak menerima tindakan yang dilakukan terhadap mereka. Akhir sekali, pemerhati mesti melihat bahawa mereka boleh campur tangan dengan berkesan.\nLangkah dan Tindakan\nHubungan dalam persekitaran tempat kerja adalah kompleks. Dalam kes tertentu,\u00a0 apabila prestasi kumpulan menjadi keutamaan, individu dalam kumpulan itu mungkin tidak boleh menerima sebarang kesilapan atau sebarang perkara yang menyusahkan mereka dan seterusnya, mungkin menganggap layanan buruk adalah wajar sebagai hukuman. Terdapat banyak kes yang berlaku apabila pemerhati ingin bertindak tetapi tidak mampu. Sebagai contoh, jika pembuli ialah penyelia mereka, atau jika percubaan campur tangan sebelum itu telah gagal.\nWalaupun tiada penyelesaian yang sesuai untuk menggalakkan campur tangan pemerhati, terdapat perkara yang boleh membantu pemerhati dalam memahami situasi sasaran dengan lebih baik dan diharapkan dapat menjadi pemerhati konstruktif yang aktif.\nPenyelidik mencadangkan bahawa mengambil suatu perspektif atau cuba melihat sesuatu melalui sudut pandangan lain boleh mendatangkan manfaat. Eksperimen telah menunjukkan bahawa peserta yang diminta untuk mengambil perspektif dari sudut pelaku kurang berkemungkinan bersetuju bahawa salah laku telah berlaku berbanding dengan peserta yang diminta mengambil perspektif dari sudut mangsa.\nOrganisasi juga mempunyai peranan penting dalam menghentikan budaya buli dan secara idealnya harus mempunyai dasar anti-buli yang mudah diakses oleh pekerja. Dasar ini perlu mentakrifkan dengan jelas definisi buli dan mempunyai proses yang telus dan sulit dalam melaporkan insiden yang dialami atau disaksikan secara langsung.\nDasar dan inisiatif anti-buli harus mendapat sokongan daripada pengurusan tertinggi. Perkara ini akan dapat membantu pekerja berasa selamat dalam bersuara. Organisasi harus cuba mencari punca kes buli berlaku dan mengambil inisiatif atau cara untuk mengurangkannya. Sebagai contoh, beban kerja yang tinggi dan komunikasi yang lemah mungkin menyumbang kepada berlakunya budaya buli.\nSesebuah organisasi yang ahlinya boleh membuat refleksi tentang sesuatu masalah yang dihadapi, boleh mengambil tindakan yang sewajarnya dalam usaha menangani perkara ini. Hal ini bukan sahaja dapat mengurangkan kes buli, malah mampu meningkatkan kesejahteraan suasana di tempat kerja." "Webinar YTF Siri ke-9: Women in Search of Excellence, Esok\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dengan kerjasama Kementerian Pertanian Industri dan Makanan (MAFI) akan menganjurkan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah Siri ke-9: Women in Search of Excellence dengan temanya \u201cAgropreneur Wanita: Saksama Bersama Menjamin Sekuriti Makanan Negara\u201d yang berlangsung pada 28 Mei 2022 secara maya.\nPerasmian webinar ini akan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.\nSementara itu, majlis penutupan pula akan dirasmikan oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.\nBersempena dengan tema webinarnya \u201cAgropreneur Wanita: Saksama Bersama Menjamin Sekuriti Makanan Negara\u201d, pelbagai sesi plenari dan sesi forum diadakan dengan menampilkan Ketua Setiausaha MAFI, YBhg. Dato\u2019 Haslina Abdul Hamid dalam ucaptama program berkenaan.\nSelain itu, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, YBhg. Dato\u2019 Azulita Salim bersama-sama ahli akademik turut membentangkan topik-topik menarik seperti Program Pembangunan Wiratani Wanita dalam Bidang Antarabangsa; Pelibatan Wanita dalam Keusahawanan Berasaskan Bidang Agromakanan; Pengurusan Kepimpinan dalam Bidang Agromakanan; Penjenamaan dan Pemasaran Digital dengan MY; serta Potensi Penerokaan Bidang Agromakanan Terkini dan Masa Depan.\nSebagai tanda sokongan, MAFI mengundang belia wanita untuk menyertai webinar ini menerusi aplikasi Zoom atau Facebook Langsung MAFI.\nBagi yang berminat, pendaftaran boleh dicapai menerusi pautan berkenaan secara percuma tanpa sebarang bayaran.\nSebarang pertanyaan lanjut, hubungi urus setia Unit Agropreneur Muda (UAM) MAFI di talian 03-88701234." "Pelibatan Wanita dalam Bidang Pertanian Wajar Disokong \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar\u00a0\u2013 Raja Muda Perlis, DYTM\u00a0Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan perasmian pembukaan \u201cWebinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF): Women in Search of Excellence (W.I.S.E.) Siri ke-9\u201d, anjuran kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan YTF pada pagi tadi\u00a0secara maya.\nMenurut DYTM Tuanku Raja Muda Perlis, pelibatan golongan wanita dalam bidang pertanian perlu dipergiat dan disokong dengan pendekatan yang bersifat \u201cmemudah cara\u201d dan \u201cmeringankan\u201d. Mereka yang berjaya disarankan untuk membantu rakan-rakan yang lain yang baru atau sedang berkecimpung dalam bidang tersebut supaya lebih berdaya maju.\nTitah baginda dalam perasmian majlis tersebut, \u201cSesungguhnya bidang pertanian sering dikaitkan dengan pekerjaan yang mencabar dan sukar diadaptasi oleh golongan wanita. Namun\u00a0begitu, situasi ini tidak wajar untuk dijadikan\u00a0sebagai\u00a0batu penghalang bagi golongan wanita untuk menceburi bidang pertanian ini.\u201d\nBaginda menzahirkan kepercayaan bahawa golongan wanita dapat memainkan peranan yang amat signifikan dalam usaha membantu memastikan kestabilan sosioekonomi negara menerusi spektrum agromakanan.\n\u201cKita perlu melihat kepada perspektif yang lebih meluas, golongan wanita boleh terlibat dalam rantaian nilai sektor pertanian seperti aspek pengurusan, penggunaan teknologi pertanian dan industri hiliran. Maka demikian, golongan wanita tidak akan tercicir dalam anjakan sosioekonomi negara yang bertepatan,\u201d titah baginda dalam memastikan pelibatan golongan wanita terhadap jaminan sekuriti makanan negara, seiring dengan tema webinar bertajuk \u201cAgropreneur Wanita: Saksama bersama Menjamin Sekuriti Makanan Negara\u201d yang terarah kepada aspek keterangkuman.\nDalam mengakhiri ucapan perasmian, baginda mengucapkan sekalung penghargaan ke atas MAFI atas penganjuran webinar tersebut serta ahli panel yang turut berkongsi ilmu, pengalaman dan pandangan mengenai tema yang menarik untuk dikupas.\nProgram ini turut menyampaikan ucaptama daripada Ketua Setiausaha MAFI, YBhg. Dato\u2019 Haslina Abdul Hamid serta Sesi Plenari dikongsikan oleh Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), YBhg. Dato\u2019 Azulita Salim dengan topik \u201cPengurusan Kepimpinan dalam Bidang Agromakanan\u201d dan kemudiannya Sesi Forum 1 oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS),\u00a0 YBrs. Dr. Akma Ngah Hamid, Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Puan Rosilawati Hassan, serta Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Puan Linda Buang dengan topik \u201cProgram Pembangunan Wiratani Wanita dalam Bidang Agromakanan\u201d.\nWebinar\u00a0YTF\u00a0siri ke-9 ini ditambah seri dengan majlis perasmian penutupan oleh Raja Puan Muda Perlis, DTYM\u00a0Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang merangkap Tuanku Pengerusi YTF." "Bahasa Melayu dalam Sukan Permotoran\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pengantarabangsaan bahasa Melayu merupakan antara agenda yang diberi perhatian oleh Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob. Setiap daripada kita merupakan duta bahasa Melayu termasuklah para pelumba motosikal. Sehubungan dengan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP telah menjemput Pelumba Supermotor S4, Khairulamirin Yahaya dan pelumba motosikal berkuasa tinggi, Kishore Dhanabalasingham sebagai tetamu istimewa bagi membincangkan isu \u201cKeeksklusifan Bahasa di Grand Prix\u201c. Siaran langsung selama lebih kurang satu jam setengah itu menampilkan Rafiq Rahman selaku moderator.\nMenurut Khairulamirin Yahaya, amat sukar untuk menggunakan bahasa Melayu dalam dunia permotoran yang bukan sahaja pada peringkat antarabangsa bahkan di Malaysia. Hal ini demikian kerana penggunaan bahasa Melayu kurang dititikberatkan di negara ini. Sebagai contoh, masyarakat Malaysia lebih senang menggunakan istilah \u201cpractice\u201c daripada \u201clatihan\u201c dalam bahasa Melayu.\nBeliau turut mengakui bahawa dirinya tidak mengetahui tentang perkataan \u201cpendikit\u201c. Beliau berkata, kemungkinan sikap ibu bapa yang gemar menggunakan bahasa campuran menyebabkan generasi kini kurang mahir atau kurang mengetahui sesuatu istilah dalam bahasa Melayu. Pada zaman ini, masyarakat juga gemar menggunakan perkataan singkatan dalam kehidupan seharian.\nDalam sukan permotoran, penggunaan bahasa Melayu adalah sukar kerana ada individu yang terlibat merupakan orang asing (dari luar negara) dan langsung tidak tahu bertutur dalam bahasa Melayu. Menurut Khairulamirin, beliau sendiri tidak mampu untuk menjelaskan situasi pemanduan dalam litar dan keadaan motosikalnya dalam bahasa Melayu.\nNamun begitu, situasi tersebut berbeza bagi masyarakat Sepanyol. Ketika berkelana dan mengikuti perlumbaan di sana, saya mendapati bahawa masyarakat Sepanyol mempunyai semangat jati diri yang tinggi dan menjaga nilai bahasa mereka. Mereka seboleh-bolehnya akan bercakap menggunakan bahasa Sepanyol walaupun sudah ada sedikit percampuran bahasa sebagaimana yang berlaku di negara kita.\nBeliau berpendapat, amat sukar untuk menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam sukan permotoran kerana kebanyakan pelumba perlu berurusan dengan individu yang langsung tidak mengetahui bahasa Melayu.\nBagi pelumba motosikal berkuasa tinggi, Kishore Dhanabalasingham, beliau juga sukar untuk menggunakan bahasa Melayu dalam dunia permotoran kerana masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum. Menurut beliau, dalam setiap satu rumah di negara ini juga akan menggunakan banyak bahasa dan tidak tertumpu kepada penggunaan satu bahasa semata-mata.\nDalam bidang permotoran pula, istilah dalam bahasa Melayu perlu diringkaskan bagi memudahkan penyampaian kerana ada kalanya para pelumba hanya menggunakan bahasa isyarat. Menurut beliau, bahasa Melayu sukar digunakan sepenuhnya dalam sukan permotoran di Malaysia sebaliknya penggunaan dwibahasa merupakan jalan terbaik. \u00a0Hal ini bagi membolehkan para pelumba dilengkapi dengan kemahiran berbahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa jika mereka terlibat dalam perlumbaan antarabangsa.\nTambah beliau, dalam usaha menonjolkan budaya Malaysia, para pelumba perlu membawa nilai kesopanan masyarakat Malaysia dalam diri masing-masing. Setiap pelumba perlu sentiasa bersopan-santun dan menggunakan bahasa yang baik ketika berkomunikasi." "Majlis Pecah Tanah Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8(3)\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin merasmikan Majlis Pecah Tanah Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8(3) pada hari ini.\nDalam majlis tersebut, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, penambahan sekolah baharu di Putrajaya dibuat selepas melihat peningkatan jumlah penduduk yang konsisten di kawasan berkenaan.\nMenurut beliau lagi, terdapat kira-kira 400 pelajar yang menetap di sekitar kawasan tersebut yang sedang menumpang belajar di sekolah lain. Sehubungan dengan itu, pembinaan sekolah baharu ini akan mengurangkan tekanan dan kepadatan pelajar yang dihadapi oleh sekolah-sekolah yang telah sedia ada, khususnya sekolah rendah di kawasan Putrajaya.\n\u201cSelain itu, terdapat sebanyak 36 buah bilik darjah di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8(3) ini dan turut dilengkapi dengan padang dan beberapa gelanggang sukan. Sekolah ini dijangka siap dibina pada tahun 2023 dan bakal beroperasi pada tahun 2024,\u201d ujar Datuk Dr. Radzi Jidin.\nJelas Datuk Dr. Radzi Jidin lagi, kawasan yang dipilih itu bersesuaian dan strategik kerana berdekatan dengan kawasan perumahan di samping laluan masuk ke kawasan sekolah yang mudah untuk para guru dan kakitangan sekolah, pelajar dan ibu bapa.\nDalam majlis yang sama, Datuk Dr. Radzi Jidin turut menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) melanjutkan kontrak 2683 guru kontrak perkhidmatan (contract of service atau CoS) bagi pengambilan tahun 2020 yang akan tamat pada 9 Jun ini.\n\u201cSehubungan dengan itu, guru-guru CoS ini tidak lagi perlu risau dan segala proses yang dilakukan oleh SPP ini akan dilaksanakan dengan sebaik-baik mungkin. Keputusan guru CoS bagi pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG41 secara sekali beri (one-off) bagi tahun 2021 juga sudah diumumkan dan calon-calon boleh membuat semakan temu duga melalui portal SPP,\u201d kata Datuk Dr. Radzi Jidin.\nBeliau turut memaklumkan bahawa keputusan guru CoS bagi pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG41 secara sekali beri bagi tahun 2021 sudah diumumkan dan calon boleh membuat semakan temu duga melalui portal SPP.\nMenurut Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi Facebook beliau, usaha yang dilaksanakan terhadap guru-guru tersebut adalah selaras dengan kenyataan beliau sebelum ini bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia akan berikhtiar sehabis baik dalam mencari penyelesaian terbaik berhubung dengan kedudukan kumpulan guru CoS ini." "Golongan Wanita Pemangkin Pemodenan Pertanian \u2013 Raja Puan Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merangkap Tuanku Pengerusi YTF berkenan menyempurnakan perasmian penutupan \u201cWebinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF): Women in Search of Excellence (W.I.S.E.) Siri ke-9 bertajuk \u2018Agropreneur Wanita: Saksama Bersama Menjamin Sekuriti Makanan Negara\u2019\u201d yang dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan YTF pada petang semalam.\nMenurut Raja Puan Muda Perlis, galakan penyertaan daripada golongan wanita perlu terus ditambah baik bagi memastikan persekitaran bidang pertanian yang lebih inklusif dan berdaya maju. Kepesatan perkembangan teknologi juga harus dijadikan sebagai panduan. Pemodenan pertanian merupakan pemangkin yang amat penting dalam menyokong hasrat negara ke arah mengukuhkan keupayaan tahap sara diri negara pada masa hadapan. Pengaplikasian teknologi harus dimanfaatkan agar lebih ramai golongan wanita juga akan menaruh minat untuk berkecimpung dalam bidang ini.\nSelain itu, Raja Puan Muda Perlis juga menzahirkan harapan agar golongan wanita di Malaysia diharap terus dikurniakan keazaman yang jitu untuk bersama-sama meningkatkan taraf dan kualiti hidup diri serta masyarakat menerusi penglibatan dalam bidang pertanian.\nSebelumnya, sesi Forum 2 pada sebelah petang disampaikan oleh Puan Nuramiza Amirrudin (usahawan FAMA), Puan Suhana Saadan (usahawan MARDI) dan Puan Rosnita Yusof (usahawan DOF) dengan tajuk \u201cPenglibatan Wanita dalam Keusahawanan Berasaskan Bidang Agromakanan\u201d.\nSesi perkongsian terakhir pula dikongsikan pemain industri Puan Norafizah Shiak Abd Rahman (COO MYNIC Berhad) dengan tajuk \u201cPeluang dan Amalan Terbaik Pemasaran Digital\u201d serta Puan Sharifah Zahidah Syed Nooh (usahawan LPNM) menyentuh tentang \u201cPotensi Penerokaan Bidang Agromakanan Terkini dan Masa Depan\u201d.\nUcaptama forum tersebut disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Dato\u2019 Haslina Abdul Hamid manakala webinar tersebut dirasmikan pembukaan pada sebelah paginya oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail." "Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri KPM Raikan Kebolehpasaran Bakat Pelajar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengadakan Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri dan Hari Terbuka Kementerian Pendidikan Malaysia 2022 di Pekarangan Kompleks Pentadbiran E, KPM, Putrajaya.\nMenurut Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk Dr. Radzi Md Jidin, pendekatan ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada masyarakat bagi memperlihatkan kebolehpasaran bakat dan produk yang dihasilkan oleh para pelajar menerusi pelbagai program dan aktiviti yang ditawarkan di bawah KPM.\nDalam konteks bulan Syawal ini, kami mengambil pendekatan dan konsep yang sedikit berbeza daripada sebelum ini, mengadakan Hari Rumah Terbuka Aidilfitri kepada Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri bersama-sama Keluarga Malaysia.\n\u201cMajlis ini bertujuan untuk memberikan ruang seluas-luasnya kepada masyarakat untuk bersama-sama KPM untuk melihat program dan aktiviti yang ditawarkan oleh KPM dan juga untuk masyarakat bersama-sama sekiranya ada perkara yang ingin disampaikan kepada pemimpin pendidikan di Malaysia,\u201d kata Menteri Kanan Pendidikan ketika membuat tinjauan lawatan ke Pameran Kejayaan Pasukan KPM pada pagi tadi.\nSelain itu, YB Datuk Dr. Radzi turut memberikan sokongan dan galakan kepada pelajar, khususnya pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam usaha meningkatkan pengetahuan pelajar dan masyarakat yang mendorong untuk menjadi usahawan serta pekerja mahir dalam industri berkaitan menjelang tahun 2025.\nTambah beliau, TVET perlu dijadikan sebagai antara pemboleh daya yang dapat menyumbang ke arah pembentukan negara membangun yang makmur dan inklusif.\nMajlis ini bertambah meriah dengan kedatangan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Dato\u2019 Seri Mohamed Azmin Ali bersama-sama tetamu kehormat, antaranya ialah Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, Timbalan Menteri Pendidikan I, YB Senator Dato\u2019 Dr. Mah Hang Soon, Timbalan Menteri Pendidikan II, YB Datuk Mohamad Haji Alamin, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, YBhg. Datin Sri Hajah Nor Zamani Abdol Hamid dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.\nMengulas lebih lanjut, YB Datuk Dr. Radzi berkata, lebih daripada 25 000 tetamu yang hadir dalam majlis itu terdiri daripada pelbagai institut pendidikan, sekolah, agensi dan jabatan kerajaan, serta Keluarga Malaysia yang lain.\nKPM menyediakan pengisian menarik dalam majlis tersebut seperti pameran, aktiviti, jualan dan persembahan seperti Regeneron International Science and Engineering Fair 2022, Pameran Sekolah Seni Malaysia dan Sekolah Sukan Malaysia, Mini Zoo Peliharaan, Jumpling Castle dan persembahan tarian dan nyanyian daripada pelajar sekolah." "\u201cTema Hari Guru Perlu Dihayati\u201d \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar tema hari guru, \u201cGuru Tunjang Sekolah SEJAHTERA\u201d mestilah dihayati sepenuhnya oleh semua warga pendidik supaya aspirasi pendidikan negara dapat direalisasikan kepada seluruh rakyat.\nWarga pendidik perlu memperkukuhkan ilmu dan kemahiran insaniah yang tinggi dalam diri agar mampu menjalankan amanah dan bertanggungjawab terhadap profesion mulia ini,\u201d titah baginda ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perlis 2022 pagi tadi.\nBaginda turut berharap agar para guru mampu mengangkat pendidikan ke peringkat yang tertinggi dan berkualiti, seiring dengan pelbagai transformasi dan inovasi semasa, serta selaras dengan tahap pengetahuan murid yang semakin meningkat dan meluas.\nTambah baginda,\nGuru perlu mempunyai anjakan paradigma untuk menerima senario baharu dan menyediakan generasi baharu bagi menghadapi cabaran pendidikan pada peringkat global dan seterusnya berkeupayaan menjadi generasi yang mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah setanding murid-murid negara lain.\n\u201cGuru jugalah yang menjadi pemangkin dalam membentuk akhlak dan jiwa anak-anak dengan nilai-nilai yang akan memakmurkan dan menyejahterakan kehidupan dunia dan akhirat nanti.\nDYTM Tuanku Raja Muda Perlis mengakui bahawa tugas guru menjadi semakin mencabar apabila perlu menyesuaikan diri dengan norma kehidupan dan kebiasaan baharu yang memerlukan kekuatan dalam aspek fizikal, jiwa, dan mental.\nPada tahun ini, Datin Noridah Yangman dinobatkan sebagai Tokoh Guru, manakala Adzhar Shafie pula diumumkan sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan.\nMajlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perlis 2022 anjuran Jabatan Pendidikan Negeri dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Negeri Perlis ini diadakan di Dewan Warisan Kangar.\nTurut mengiringi baginda dalam majlis berkenaan ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil." "Program Pemindahan Ilmu CILTM dan UniKL MITEC\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nThe Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia (CILTM) bersama-sama Women in Logistics and Transport (WiLAT) Malaysia dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur Kampus Cawangan Malaysian Institute of Industrial Technology (UniKL-MITEC), berkongsi pengalaman berkaitan dengan pengurusan sajian dalam logistik tentera dan pergudangan melalui Program Pemindahan Ilmu WiLAT Malaysia Inspire Kitchen (WMIK) atau DAPUR ILMU.\nKeunikan program WMIK-DAPUR ILMU sebagai satu daripada program memasak yang dilakukan secara bergotong-royong antara WiLAT Malaysia dengan staf dan pelajar UniKL MITEC jurusan Ijazah Sarjana Muda dan Diploma Logistik Industri dengan kerjasama Young Professional Club (YPC) UniKL MITEC.\nProgram pemindahan ilmu sebegini dapat membimbing dan melahirkan mahasiswa secara holistik, bertetapan dengan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mempergiat program di Institut Pendidikan Tinggi (IPT) Kampus Sejahtera. Hal ini memerlukan sokongan yang penuh daripada seluruh warga kampus.\nLogistik juga perkataan yang berkaitan dengan bidang ketenteraan dan pertahanan. Perkataan ini pertama kali digunakan pada tahun 1838 dalam buku \u201cThe Art of War\u201d, yang ditulis oleh Jeneral Perancis dalam tentera Napoleon. Dalam program pemindahan ilmu ini, Lt. Kol. Mohd Ramzi Mohd Nor (Bersara), Ketua Seksyen Logistik Industri, UniKL MITEC sebagai tetamu WMIK berkongsi pengalaman semasa beliau berkhidmat dalam Misi Bantuan Keamanan di Lubnan. Rantaian bekalan dan kerjasama semua negara amat penting dengan perpaduan globalisai untuk memastikan makanan yang disediakan menepati masa, bersih dan halal.\nPerancangan secara tertib amatlah perlu dilaksanakan dalam merancang serta melakukan pergerakan dan menjalankan penyelenggaraan pasukan tentera. Dalam erti kata yang paling komprehensif dalam disiplin pertahanan, hal ini demikian dikatakan merupakan satu aspek atau operasi ketenteraan yang berurusan dengan reka bentuk, pembangunan, pemerolehan, penyimpanan, pengedaran, penyelenggaraan, pemindahan, dan pelupusan\u00a0material.\nSementara itu, Tuan Hj. Muhamad Zani Muhamad, Pensyarah Kanan UniKL MITEC berkata, \u201cAdab dan etika perlu diutamakan semasa berada di gudang yang dianggap sebagai bidang yang memerlukan tenaga fizikal lebih daripada minda.\u201d\n\u201cPengurusan Gudang kini penuh persaingan dengan pengenalan konsep \u2018Tepat Pada Masa\u2019 (JIT), strategi \u2018Menguruskan Inventori oleh Pembekal\u2019 (VMI) dan ogistik Pihak Ketiga\u2019 (3PL). Teknik-teknik dan pengetahuan yang perlu dan cara mencipta dan menubuhkan pengurusan stor yang berkesan. Operasi stor secara keseluruhan, juga dengan tujuan merangsangkan amalan yang cekap dan berkesan di perusahaan pengilangan,\u201d jelas beliau dalam membicarakan tajuk mengenai kepentingan pengurusan pergudangan.\n\nMenurut Ahmad Fakhruddin Ahmad Dailami, Penasihat YPC UniKL MITEC, mahasiswa perlu lebih mahir dalam berkomunikasi dengan memahami kepentingan logistik. Para pelajar perlu lebih berani menampilkan diri ke hadapan, terutamanya menjadi pemimpin bagi menyuarakan pendapat berkaitan dengan kepentingan martabatkan bahasa Melayu dan semangat patriotisme dan cintakan negara yang tinggi.\nSelain itu, isu kesejahteraan emosi juga dibincangkan dalam DAPUR ILMU dalam melahirkan mahasiswa bijak yang mampu menilai situasi pembelajaran di universiti. Kasih sayang yang diberikan melalui masakan yang disediakan oleh WMIK kepada pelajar berjaya mengubat rindu pelajar yang merindui masakan ibu bapanya.\nPesanan DAPUR ILMU kepada pelajar-pelajar untuk terus mengejar ilmu dengan penuh keberkatan dengan memetik kata-kata Bung Zaman, \u201cJadilah jauhari yang mengenal manikam, mampu menangkap kilat di dalam kilau, mengimbau beras di dalam padi dan membaca niat di dalam hati\u201d." "Kejohanan Ragbi Diraja Perlis Melayakkan Pasukan Sertai Sukan Komanwel\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKangar \u2013 Kejohanan Ragbi Diraja Perlis Terbuka 7 Sepasukan pada kali ini telah disempurnakan oleh Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar baru-baru ini.\nAcara tahunan pada kali ini menampilkan Pasukan Ragbi Kebangsaan \u201cBunga Raya\u201d sebagai johan bagi Kategori Terbuka, sekali gus melayakkan pasukan ini menyertai Sukan Komanwel di Birmingham England.\nDalam perlawanan akhir tersebut, pasukan Bunga Raya berjaya menumpaskan juara bertahan, iaitu Jitra Old Boys (JOB) dengan keputusan 19-0 dan mengekalkan rekod tanpa bolos sepanjang dua hari pertandingan itu berlangsung. Mereka seterusnya meraih hadiah wang tunai bernilai RM5000, piala pusingan, piala iringan dan juga pingat kemenangan.\nBersempena juga meraikan Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-79 Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, pertandingan tahunan ini disertai oleh 25 pasukan.\n\u201cPertandingan ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya sebagai platform untuk mempersiapkan skuad bawah 23 tahun negeri masing-masing bagi mengambil bahagian dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 di Kuala Lumpur pada bulan September yang akan datang nanti,\u201d titah baginda ketika menyempurnakan majlis penutupan dan seterusnya menyampaikan hadiah kejohanan berprestij tersebut.\nTurut berangkat baginda ialah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.\nMengulas lebih lanjut, keputusan perlawanan akhir bagi kategori lain adalah Lelaki Bawah 23 Tahun, yakni Kedah menumbangkan SJ20 dari Johor 14-0 dan Wanita Bawah 23 Tahun pula Sarawak menang ke atas Kedah mengambil kira \u201cTry\u201d yang dibuat lebih dahulu semasa perlawanan dilangsungkan setelah terikat 12-12." "Sistem Pengairan Efisyen Meningkatkan Produktiviti Padi di Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 \u201cPada tahun 2022, sebanyak dua Projek Pembangunan Sistem Pengairan Tersier sedang dijalankan di negeri Perlis dengan melibatkan kos sebanyak RM39.8 juta.\u00a0Manakala tanaman padi di bawah seliaan MADA negeri Perlis pula diuruskan melalui 23 blok pengairan dengan 7 blok pengairan tersebut dilengkapi sistem pengairan peringkat tersier,\u201d sembah maklum Pengurus Wilayah 1 MADA, Zairizal Zainon\u00a0kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil sewaktu baginda berdua berkenan berangkat menghadiri Majlis Erat Syawal MADA Wilayah 1 yang diadakan di pejabatnya di Behor Temak, Kangar.\nProjek Pembangunan Sistem Pengairan Tersier melibatkan 16 blok pengairan sawah padi di negeri Perlis yang bertujuan bagi menyediakan rangkaian infrastruktur sistem pengairan yang lebih cekap dan efisien dalam usaha meningkatkan pengeluaran padi akan dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).\nMenurut Zairizal, bagi tempoh tahun 2022, pihak MADA telah merancang kerja-kerja penyelenggaraan dan pembangunan di kawasan MADA Wilayah 1 Perlis mengikut peruntukan yang telah disediakan merangkumi kerja-kerja penyelenggaraan saluran air berkala dengan kos dianggarkan berjumlah RM680 ribu dan kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur seperti jalan ladang, struktur kawalan dan ban dengan kos dianggarkan sebanyak RM1.5 juta.\nTurut hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengurus Besar MADA, Kamarudin Dahuli." "KPM Memansuhkan Ujian PT3 Mulai Tahun Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013\u00a0Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) secara rasminya dimansuhkan mulai tahun ini setelah ditangguhkan selama dua tahun akibat pandemik COVID-19.\nBerhubung dengan kegusaran berkaitan dengan penilaian tahap penguasaan murid, Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin menjelaskan bahawa pendekatan ini dilakukan bertujuan untuk melihat tahap intervensi murid di dalam bilik darjah dengan lebih menyeluruh melalui penambahbaikan Pentaksiran Formatif (berterusan) dan Pentaksiran Sumatif.\n\u201cMurid akan ditaksir oleh guru pada setiap masa menerusi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) untuk memastikan murid mendapat penguasaan sepenuhnya dalam sesuatu topik atau mata pelajaran yang dipelajari,\u201d jelas YB Menteri Kanan Pendidikan dalam Sidang Media Khas di Auditorium Kompleks E, KPM pada petang ini.\nMenurut beliau, KPM telah memfokuskan usaha memperkasaan PBS melalui tiga komponen, iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi).\nDari segi penambahbaikan PBD Pentaksiran Formatif, KPM akan memperkasa program latihan untuk pentadbir atau guru bagi memantapkan pelaksanaan pentaksiran berterusan di sekolah.\n\u201cBagi PBD Pentaksiran Sumatif, KPM akan memantapkan ujian akhir sesi akademik bagi lima mata pelajaran terpilih di peringkat sekolah rendah dan semua mata pelajaran di peringkat menengah rendah melalui pentaksiran mengikut tahun atau tingkatan; penyediaan bank soalan oleh KPM; penjanaan set soalan oleh guru di sekolah; dan pelaksanaan yang lebih fleksibel.\nMengulas dengan lebih lanjut mengenai pemerkasaan sistem pendidikan negara, ujian akhir sesi akademik akan dilakukan kepada murid darjah 4 hingga darjah 6 berdasarkan lima mata pelajaran (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah), manakala murid di sekolah menengah melibatkan semua mata pelajaran.\n\u201cSoalan peperiksaan akan disediakan melalui satu bank soalan oleh KPM mengikut tahap tertentu dan dijana oleh guru di sekolah, manakala set soalan ujian akhir tahun disediakan oleh guru sekolah bagi pelaksanaan yang lebih fleksibel,\u201d jelas beliau dalam usaha menyelaraskan standard soalan peperiksaan di seluruh negeri.\nBagi pihak KPM, maklumat ini dapat membantu kementerian secara lebih menyeluruh untuk melihat di seluruh negeri tentang pencapaian murid dalam konteks subjek yang disebut tadi. Hal ini juga membantu untuk melihat khususnya dalam perkara literasi bagi membolehkan intervensi dibuat pada peringkat negeri, daerah dan sekolah.\nMeskipun peperiksaan tidak dilaksanakan secara serentak di seluruh negeri, pihak sekolah boleh menetapkan tarikh peperiksaan mengikut kesesuaian semasa berdasarkan tempoh yang diberikan oleh KPM.\n\u201cSaya yakin dengan pendekatan penambahbaikan pentaksiran baharu ini, kita mampu membina dan melahirkan pewaris negara yang hebat, selain daripada mengetahui punca kemerosotan prestasi murid di dalam bilik darjah,\u201d akhiri YB Datuk Dr. Radzi dalam menerangkan Pelaporan Pertengahan Sesi Akademik yang menggunakan format baharu bermula Sesi Akademik 2023/2024." "Raja Muda Perlis Meraikan Hari Ulang Tahun Askar Wataniah ke-64\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBukit Keteri \u2013 Keberangkatan Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Komander dalam acara Kayuhan Berbasikal Sempena Hari Ulang Tahun Askar Wataniah ke-64 dan disusuli dengan Majlis Raikan Syawal 1443 Hijrah anjuran Rejimen 504 Askar Wataniah Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia yang bermula dan berakhir di perkarangan Kolam To\u2019 Uban, Kem Bukit Keteri menunjukkan sokongan dan keprihatinan baginda terhadap program anjuran rejimen ini dan memberi suntikan semangat kepada seluruh warganya.\nMenurut Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak, program ini diadakan pada tanggal 1 Jun setiap tahun bersempena Hari Ulang Tahun Askar Wataniah ke-64. Manakala Askar Wataniah kini semakin ampuh dan matang dalam menjana idea dan langkah dalam mentransformasi ke arah pendigitalan dan pembaharuan seiring dengan peredaran zaman.\n\u201cPenubuhan Askar Wataniah sejak tahun 1958 yang merupakan hasil keringat, darah, dan air mata pejuang tanah air serta buah fikiran kerabat diraja menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan sehingga kini. Askar Wataniah yang bermula dengan Penang Volunteers yang terdiri daripada anggota masyarakat yang tidak terlatih kini mempunyai hampir 43 ribu orang sukarelawan di seluruh Malaysia,\u201d jelas Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.\nProgram tersebut berlangsung seiring dengan aktiviti MAIPs Peduli yang menyantuni asnaf terpilih yang terdiri daripada Sapayah Yaakub, Kasim Md Nah dan Bon @ Timah Man. Di samping itu, sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut diserahkan di rumah mereka.\nTurut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Panglima Briged ke Enam Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Akib Hj Yusof, Pegawai Kewangan Negeri selaku Timbalan Pengerusi JAKPAW Negeri, Haji Zepri Saad, barisan ahli JAKPAW, para Perwira, Bintara serta Satria Rejimen 504 Askar Wataniah." "Program Sekolah Amanah Jamalullail Melahirkan Modal Insan yang Berkualiti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Bersempena Persidangan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang ke-3 bagi tahun 2022, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menghadiri Sesi Taklimat Pelaporan Akhir bagi Pelaksanaan Program Sekolah Amanah Jamalullail (PSAJ) anjuran Yayasan AMIR dan LeapEd di Dewan Kulliyah MAIPs, Behor Temak, Kangar, Perlis.\nBagi pelaksanaan Program Sekolah Amanah Jamalullail tajaan MAIPs dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPN Perlis), sebanyak lima buah sekolah di negeri Perlis terpilih untuk menerima tajaan tersebut.\nMatlamat penganjuran Program Sekolah Amanah Jamalullail adalah untuk membawa budaya perubahan holistik kepada persekitaran pendidikan di sekolah di samping memberikan fokus kepada pembentukan pelajar secara holistik bagi mencapai sasaran \u201cKemahiran DwiBahasa, Etika dan Kerohanian, Kemahiran Memimpin, Pengetahuan, Kemahiran Berfikir, dan Identiti Nasional\u201d.\nMenurut titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs, setiap organisasi yang berdaya saing amat memerlukan warga kakitangannya yang memiliki kemampuan untuk berfikir secara kreatif dan seterusnya melahirkan idea-idea yang inovatif.\n\u201cUntuk membina minda yang kreatif, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk menghasilkan dan mengeluarkan keunikan setiap individu di samping mengatasi halangan-halangan yang membelenggu kreativiti. Justeru, marilah kita bersama-sama berusaha membawa negeri Perlis yang tercinta ini menuju ke arah melahirkan modal insan yang berkualiti, bermutu tinggi, berdaya saing dan mempunyai pelbagai keunikan yang tersendiri,\u201d titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putera pada sesi penutupan persidangan tersebut.\nAntara sekolah yang terlibat dalam Program Sekolah Amanah Jamalullail yang telah berlangsung sejak tahun 2019 anjuran LeapEd dengan kerjasama JPN Perlis ini termasuklah SMK Sanglang, SMK Kuala Perlis, SK Seberang Ramai, SK Batu Bertangkup dan SK Simpang Empat.\nKetua Pegawai Eksekutif Yayasan AMIR, Puan Zaida Khalida Shaari turut hadir bagi mempersembahkan pembentangan kepada Raja Muda Perlis dan ahli-ahli Majlis MAIPs." "Makna Tersirat dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Rendah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada bulan Jun dan Julai 2022, hangat diperkatakan oleh warga siber di laman Facebook tentang kerelevanan pembelajaran pemahaman makna tersirat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah. Pelbagai persepsi dan buah fikiran telah dikemukakan oleh warga siber. Kebanyakannya tidak bersetuju dengan pelaksanaan pembelajaran tersebut, khususnya pada Tahap Satu. Penulis berpandangan bahawa isu ini bersifat subjektif.\nOleh sebab itu, terpulanglah kepada pihak yang berkepentingan untuk menilai isu ini dengan mendapat pandangan yang jujur daripada pakar pendidikan bahasa Melayu, ahli linguistik dan ahli psikologi. Pandangan yang jujur tersebut pula hendaklah berpaksikan kajian yang komprehensif dan holistik. Hal ini dikatakan demikian kerana sememangnya terdapat kajian yang menunjukkan bahawa pembelajaran makna tersirat tidak releven untuk kanak-kanak yang belajar di sekolah rendah.\nNamun begitu, terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa kanak-kanak yang berusia lima tahun hingga 11 tahun mampu memahami makna tersirat. Dalam makalah \u201cChildren\u2019s Ability to Recognize Implicit and Explicit Reasoning of Story Book Characters\u201d, Szabo dan Brakas mendapati bahawa kanak-kanak di sekolah rendah sudah berupaya untuk memahami maklumat tersirat yang terdapat dalam teks dengan menggunakan penaakulan berasaskan pemikiran kritis. \nKajian yang dilakukan oleh Szabo dan Brakas ini juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang berusia sembilan tahun dan 10 tahun sudah mula membina pemikiran operasi formal, iaitu keupayaan untuk berfikir secara abstrak, serta mampu memanipulasikan\u00a0 idea dan menggunakan logik untuk menghasilkan jalan penyelesaian yang kreatif terhadap sesuatu masalah.\nNoor Azmira Mohamed dalam disertasi doktor falsafahnya, \u201cPemahaman Makna Tersirat dalam Interaksi Kanak-Kanak Prasekolah\u201d, menyatakan bahawa kanak-kanak yang berusia empat tahun hingga enam tahun telah menguasai pemahaman makna tersirat verbal dan bukan verbal yang tidak mengandungi unsur kiasan, peribahasa dan simpulan bahasa dengan baik. Faktor persekitaran dan penggunaan bahasa oleh orang dewasa menjadi faktor utama yang menyebabkan kanak-kanak ini berupaya untuk memahami makna tersirat.\nAsmah Haji Omar dalam makalahnya yang berjudul \u201cBahasa dan Alam Pemikiran Melayu\u201d pula berpendapat bahawa bahasa melambangkan pengalaman dan pemahaman manusia terhadap alam sekelilingnya. Oleh sebab itu, semakin kerap kanak-kanak terdedah dengan perkataan, ayat atau ujaran yang mengandungi makna tersirat, semakin banyak pengalaman mentafsir makna tersirat yang akan diperoleh. Berdasarkan pengalaman tersebut, kanak-kanak ini berupaya mentafsirkan makna tersirat dengan baik.\nKonteks pemahaman terhadap sesuatu makna berbeza antara kanak-kanak perempuan dengan kanak-kanak lelaki. Dalam makalah \u201cMakna Ungkapan dalam Perbualan Kanak-Kanak Perempuan Berdasarkan Teori Imej\u201d, Norajihah Muda dan Raja Masittah Raja Ariffin menyatakan bahawa perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak perempuan lebih cepat berbanding dengan kanak-kanak lelaki. Oleh sebab itu, kanak-kanak perempuan yang berusia tujuh tahun hingga 10 tahun sudah cenderung untuk memikirkan sesuatu perkara secara mendalam. Pada masa yang sama, perbualan kanak-kanak perempuan juga mempunyai unsur pragmatik yang selaras dengan perkembangan bahasa kanak-kanak tersebut.\nSehubungan dengan itu, bagi membolehkan pengajaran pemahaman makna tersirat kepada murid sekolah rendah dilaksanakan, guru terlebih dahulu perlu menguasai ilmu semantik dan pragmatik, khususnya guru bukan opsyen Bahasa Melayu. Pengetahuan tentang ilmu semantik dan pragmatik yang mendalam dapat memudahkan dan memandu guru untuk menyusun strategi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.\nMenurut Mat Taib Pa dalam makalah \u201cKonsep Makna dan Jenisnya\u201d, secara mudahnya makna tersirat merujuk makna sampingan bagi makna tersurat untuk satu-satu perkataan. Makna tersirat tidak bersifat tetap dan umum tetapi berbeza berdasarkan budaya, masa atau pengalaman. Sebagai contohnya, bagi perkataan lelaki, makna tersuratnya ialah jantina yang berlawanan dengan perempuan. Makna sampingannya pula boleh difahami sebagai ciri fizikal, psikologi dan sosial yang tertentu, seperti gagah, tegak, sukar menangis, kasar, pandai bertukang dan meminati permainan bola sepak.\nSelain itu, Yule dan Widdowson dalam buku Pragmatic berpendapat bahawa pemahaman tentang makna tersirat hanya dapat difahami berdasarkan konteksnya. Hal yang sama dijelaskan oleh Thomas dalam bukunya Meaning in Interaction: An Introduction to Pragmatics. Menurut Thomas, makna tersirat bagi sesuatu ujaran perlu merujuk makna konteks, iaitu dengan mengambil kira konteks fizikal dan persekitaran, konteks sosial dan budaya, dan konteks linguistik bagi sesuatu ujaran. Tambah Thomas lagi, makna tersirat perlu difahami berdasarkan niat penutur, sama ada berbentuk penegasan, arahan, komisif, ekspresif atau pengisytiharan.\nOleh sebab makna tersirat hanya dapat difahami berdasarkan konteks dan konteks pula dapat memberikan pengertian yang pelbagai, pembelajaran pemahaman makna tersirat perlulah berpandukan konteks. Sekiranya pihak berkepentingan menetapkan bahawa pembelajaran tentang pemahaman makna tersirat perlu diajar di sekolah rendah, guru haruslah mengambil inisiatif untuk mengajar pemahaman makna tersirat secara terancang dan kreatif.\nDari segi pelaksanaannya, guru tidak sepatutnya bergantung kepada sebuah teks atau sekeping gambar semata-mata ketika mengajar. Guru perlu mempelbagaikan penggunaan bahan bantu mengajar supaya murid dapat meneroka makna tersirat berdasarkan konteks fizikal, persekitaran, sosial, budaya dan linguistik. Penggunaan bahan bantu mengajar yang berasaskan grafik, multimedia interaktif, audio, video, web dan digital pula akan memudahkan murid untuk menganalisis konteks.\nDi samping itu, guru juga harus berani untuk menggunakan pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran yang bersesuaian. Pengaplikasian strategi pemahaman bacaan yang pelbagai dan kaedah drama sangat relevan digunakan oleh guru untuk mengajar pemahaman makna tersirat. Menerusi teknik teater pembaca, teater bercerita, boneka, pantomim, simulasi, main peranan, memos dan monodrama, murid akan memperoleh banyak rangsangan untuk meneroka makna tersirat berdasarkan konteks.\nSelain itu, George Romiko Bujang dan Mary Fatimah Subet dalam makalah \u201cMerungkai Makna Sajak Istimewanya Kita: Pengaplikasian Semantik Inkuisitif dalam Kalangan Murid Tahun Empat\u201d pula berpendapat bahawa pendekatan semantik inkuisitif yang digunakan oleh guru dapat membantu murid sekolah rendah memahami makna tersirat dalam pembelajaran Bahasa Melayu. Menerusi penggunaan bahan bantu mengajar dan pengaplikasian strategi pembelajaran yang pelbagai serta bersesuaian, murid sekolah rendah dapat belajar meneroka sesuatu makna tersirat secara berpandu, terancang dan menyeronokkan.\nDalam isu ini, perkara yang paling mustahak ialah pihak berkepentingan tidak wajar menetapkan peraturan atau prosedur yang menyebabkan pembelajaran pemahaman makna tersirat di sekolah rendah berorientasikan hasil dan penaksiran semata-mata. Sebaliknya, pembelajaran pemahaman makna tersirat di sekolah rendah haruslah berorentasikan proses, iaitu proses meneroka makna tersirat. Oleh sebab itu, pembelajaran pemahaman makna tersirat boleh dilaksanakan menerusi aktiviti menghasilkan inferens atau ramalan. Dengan cara ini, murid sekolah rendah tidak terbeban untuk belajar mentafsir makna tersirat seperti pelajar dewasa. Secara tidak langsung, kemahiran berfikir dan kemahiran abad ke-21 dalam kalangan murid dapat dibina secara berperingkat berdasarkan tahap pembangunan kognitif masing-masing." "Dialog Buku Negara: Industri Buku Negara Mendepani Cabaran Global\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u2013 Bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 ke-39, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan acara Dialog Buku Negara pada petang\u00a0tadi\u00a0bertempat di Bilik Kuala Lumpur, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).\nMajlis Dialog Buku Negara dirasmikan oleh YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP dengan tajuk dialog, \u201cIndustri Buku Negara Mendepani Cabaran Global\u201d.\nTurut hadir dalam Majlis Dialog ialah YBhg. Encik Mohd Khir Ngadiron, Pengerusi Pengelola PBAKL, YBhg. Dato\u2019 Haji Zainudin Haji Othman, Pengerusi Dialog Buku Negara, dan YBhg. Dato\u2019 Dr. Ivan Hoe Wat Sing, Presiden Persatuan Pengeksport dan Pengimport Buku Malaysia (MBEIA).\nDalam Dialog Buku Negara ini, ahli panelnya terdiri daripada YBhg. Datu Dr. Rashidah Bolhassan, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK), YBrs. Tuan Haji Azman Hashim, Pengerusi Pemasaran, Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), YBrs. Encik Arief Hakim Sani Rahmat, Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), manakala YBrs. Encik Sakri Abdullah, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) sebagai moderator.\nMenurut YBhg. Dato\u2019 Haji Zainudin, dalam usaha memupuk budaya dan memperkasakan industri pembukuan, banyak usaha telah dijalankan antaranya termasuklah penerbitan, pemasaran kajian dan libat urus dalam kalangan agensi kerajaan dan swasta. Hal ini termasuklah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan penggiat industri pembukuan yang sentiasa bergerak dalam usaha memastikan buku menjadi satu daripada agenda negara yang terpenting.\nMaklumat, pandangan dan pendapat akan menghasilkan satu keputusan dan resolusi yang disepakati bagi menggerakkan perancangan pembukuan yang disasarkan. Resolusi akan dikemas kini dan akan diserahkan kepada YAB Perdana Menteri,\u201d kata YBhg. Dato\u2019 Haji Zainudin dalam ucapan alu-aluan tadi.\nSementara itu, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin\u00a0berkata, usaha mengadakan Majlis Dialog ini sangat tepat pada masanya\u00a0untuk membuka ruang kepada penggiat industri buku negara untuk berbincang, memberikan pandangan atau cadangan dalam usaha memulihkan industri penerbitan negara yang terkesan dengan cabaran global terutamanya pandemik COVID-19.\n\u201cPandemik yang melanda dunia memberikan cabaran terbesar kepada masyarakat sehingga menjejaskan kegiatan ekonomi,\u00a0termasuklah industri penerbitan. Pandemik COVID-19 bukan sahaja menyuramkan kegiatan penerbitan,\u00a0malahan mematikan sebilangan perusahaan penerbitan di negara terutama yang dilaksanakan secara fizikal.\u201d\nDBP turut terkesan dengan pandemik COVID-19 ini, namun bingkas bangkit dengan melakukan beberapa inovasi dan tindakan segera. Dalam tempoh tersebut, DBP berjaya membangunkan pelantar digital, iaitu JendelaDBP untuk mengumpulkan produk penerbitannya di bawah satu bumbung.\nTambah YBhg. Datuk Abang Sallehuddin, statistik menunjukkan dari Januari 2022 hingga Mei 2022, hampir 600 000 pelayar telah mengakses pelantar digital ini. DBP banyak mengubah strategi penerbitan buku, yakni mencetak buku berdasarkan permintaan daripada pelanggan atau mana-mana agensi atau jabatan.\n\u201cDBP berharap agar usaha ini dapat mengurangkan simpanan buku di stor, malah pemasaran buku juga dapat bergerak dengan lebih pantas. Semua buku DBP bermula dari tahun 1958 akan didigitalkan bagi membolehkan pengguna, peminat dan pengkaji buku mengakses bahan tersebut. DBP juga sedang berusaha dalam mempelbagaikan kaedah penerbitan selain bahan digital.\u201d\nSaya percaya dengan penyertaan pelbagai pihak, terutamanya dalam kalangan penggiat industri pada hari ini, pasti banyak percambahahan idea dan pandangan yang boleh diusulkan kepada pemimpin negara untuk kepentingan pembangunan industri buku negara,\u201d ujar YBhg. Datuk Abang Sallehuddin dengan harapan agar majlis dialog ini menghasilkan satu cadangan atau resolusi yang segar.\n\u00a0\n\u00a0\nPengerusi Pengelola PBAKL, YBhg. Encik Mohd Khir Ngadiron berkata, \u201cSumbang saran dan\u00a0dialog sebegini adalah sangat penting. Industri perlu pemain-pemain yang ada ilmu dan pengetahuan yang betul. Kita tidak mahu memberikan perspektif yang berbeza-beza.\u201d\n\u201cPenggiat industri perlu sentiasa positif, berdaya saing dan boleh maju. Saya percaya dengan semangat dan strategi yang baik akan menghasilkan sebuah kejayaan\u00a0yang bernilai,\u201d kata YBhg. Encik Mohd Khir\u00a0Ngadiron\u00a0\u00a0mengakhiri ucapan dan merakamkan ucapan tahniah atas pelibatan semua pihak dalam menjayakan industri buku negara." "Industri Buku Akar Tunjang Pohon Ketamadunan dan Budaya Pembacaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dialog Buku Negara yang bertajuk \u201cIndustri Buku Negara Mendepani Cabaran Global\u201d telah diadakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC). Dialog tersebut membariskan tiga orang ahli panel yang terdiri daripada pelbagai latar belakang serta aktif dalam industri buku negara. Ketiga-tiga ahli panel tersebut ialah YBhg. Datu Dr. Rashidah Bolhassan (Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak), Tuan Haji Azman Hashim (Pengerusi Pemasaran Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia atau MAPIM) dan Encik Arief Hakim Sani Rahmat (Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia atau MABOPA). Dialog tersebut telah dikendalikan oleh Encik Sakri Abdullah (Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Malaysia atau ITBM).\nDialog Buku Negara berlangsung selama hampir tiga jam. Banyak idea, cadangan dan perspektif baharu mengenai buku dan industri perbukuan dikemukakan sepanjang dialog tersebut. Antaranya adalah berkaitan dengan peranan perpustakaan, literasi digital, masa hadapan industri buku serta cabaran dan halangan dalam melangsungkan hayat perbukuan.\nUmum mengetahui bahawa pandemik COVID-19 banyak memberikan kesan terhadap perkembangan ekonomi dan kehidupan masyarakat sendiri. Industri buku tidak terlepas dalam menerima \u201ctempias\u201d tersebut. Pandemik banyak memberikan pengajaran tertentu bahawa persediaan daripada pelbagai aspek perlu diteliti serta perlunya \u201cpelan kedua\u201d dalam memastikan buku sentiasa menjadi pilihan masyarakat.\nMenurut YBhg. Datu Dr. Rashidah Bolhassan, beliau yang berpengalaman terlibat dengan perpustakaan menyatakan bahawa pandemik secara tidak langsung menyebabkan perpustakaan kembali menjadi pilihan masyarakat dalam mencari buku yang diingini oleh pembaca.\nIlmu tidak harus disimpan semata-mata dalam perpustakaan. Ilmu harus digunakan dan disebarkan kepada masyarakat umum. Oleh itu, perpustakaan sekarang harus memperbanyak perkhidmatan yang bersifat digital.\nMenurut beliau lagi, walaupun pandemik COVID-19 melanda negara dengan hebatnya, namun perpustakaan tetap berdiri utuh kerana terdapat perpustakaan yang memberikan perkhidmatan digital seperti pinjaman e-buku, pembacaan surat khabar secara digital dan sebagainya. Dengan adanya literasi digital dalam perkhidmatan perpustakaan, maka secara tidak langsung masyarakat tidak lagi menghadapi situasi sukar dalam mendapatkan buku. Tambahnya, perpustakaan sendiri harus sentiasa melakukan perubahan dalam menyediakan perkhidmatan mereka.\nSelain itu, Tuan Haji Azman Hashim selaku ahli panel kedua berpendapat bahawa walaupun buku fizikal seolah-olah tidak lagi menjadi pilihan pembaca, namun cabaran yang lebih besar ialah cara untuk mempromosikan sesebuah buku yang diterbitkan.\nSaya percaya buku masih dicari oleh masyarakat. Perkara yang penting sekarang ialah penerbit dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam industri buku harus lebih terkehadapan dan bijak dalam mempromosikan buku mereka. Masyarakat di luar bandar, terutamanya di kampung dan pedalaman tidak harus disisihkan dalam mendapatkan buku yang berkualiti.\nBeliau juga berpendapat bahawa sesebuah tamadun dibina dengan budaya pembacaan yang kukuh. Pembudayaan pembacaan harus diterapkan dan dikukuhkan terlebih dahulu sebelum melangkah lebih jauh ke dunia digital. Bagi beliau, semua pihak harus terlibat dalam membudayakan buku dalam kehidupan seharian. Agensi kerajaan khususnya perlu lebih giat dalam menerapkan minat masyarakat terhadap buku, terutamanya yang melibatkan golongan kanak-kanak. Program galakan membaca perlu digerakkan di semua peringkat termasuklah peringkat sekolah. Jika keadaan tersebut menjadi realiti, maka industri buku akan hidup subur dah harmoni.\nSeterusnya, ahli panel ketiga, iaitu Encik Arief Hakim Sani Rahmat pula menjelaskan betapa perlunya pihak tertentu melihat kembali hal-hal penting dalam proses menerbitkan buku. Antara perkara yang dibangkitkannya ialah cabaran dalam menerbitkan buku pasca pandemik yang melibatkan kos cetak, harga kertas dan sebagainya. Baginya, hal seumpama ini menjadikan industri buku tersepit dan mengalami masalah untuk terus berjalan dengan lancar. Hal-hal tersebut menyebabkan harga buku menjadi mahal dan seterusnya masyarakat akan menjadikan buku sebagai \u201ckos lepas\u201d dalam kehidupan seharian mereka.\nNaratif dahulu ialah orang tidak mahu membeli buku walaupun harga buku murah. Sekarang, naratifnya ialah orang mahu membeli buku, tetapi duit yang berada dalam poket tidak mencukupi. Itulah realiti buku dan pembaca sekarang.\nSelain itu, beliau juga mengemukakan beberapa idea untuk semua pihak, khususnya kerajaan untuk sama-sama membantu dalam meningkatkan industri buku dan seterusnya menanam minat membaca dalam kalangan masyarakat. Antara idea yang dikemukakannya ialah perlunya kerajaan menggiatkan kembali \u201cKempen Membaca Kebangsaan\u201d, perlunya insentif fizikal dan pelaburan pendidikan, pemberian kembali baucar buku dan transformasi digital yang menyeluruh.\nBeliau juga menyarankan agar kerajaan dan pihak tertentu memberikan dana bagi membolehkan kajian industri buku dilakukan. Kajian tersebut harus menyeluruh dan bersifat holistik serta mampu memberikan jawapan kepada permasalahan yang terdapat dalam industri buku kini.\nSelaku moderator dialog,\u00a0Encik Sakri Abdullah menyatakan kegembiraannya kerana pada hari pertama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur diadakan, seawal pukul 10.30 pagi, banyak pengunjung hadir memenuhi ruang legar pempamer secara keseluruhan dan baliau berharap agar pengunjung akan terus berkunjung ke pesta buku tersebut sehingga 12 Jun 2022. Dalam memastikan kelangsungan industri buku, beliau juga berharap agar adanya pendekatan terbaik daripada industri dan kerajaan yang boleh memberikan ruang untuk industri buku mengalami proses pemulihan secara berterusan kerana terkesan dengan cabaran global. Menurut beliau, industri buku merupakan industri yang menggabungkan elemen komersial dan sosial. Oleh itu, tanggungjawab pemain industri juga mesti ada dan menyerahkannya pada pasaran terbuka juga perlu ada.\nPada akhir sesi dialog, Encik Sakri Abdullah turut menyatakan kegembiraannya kerana peserta yang hadir menunjukkan minat terhadap dialog yang diadakan dan dapat bertahan dalam majlis yang diadakan dalam tempoh hampir tiga jam.\u00a0 Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat sedar betapa perlunya budaya membaca, betapa sedar dan betapa kita perlu memperbaik apa-apa yang kita ada sekarang.\nDaripada dialog yang diadakan pada petang tadi, jelas menunjukkan bahawa industri penerbitan merupakan industri penting yang perlu dititikberatkan oleh pelbagai pihak dan masyarakat. Industri penerbitan berperanan sebagai pembangun keintelektualan masyarakat dan menjadi akar tunjang pohon ketamadunan bangsa. Oleh itu, amalan membaca perlu sentiasa dipraktikkan oleh masyarakat dalam kehidupan seharian." "Contohi Jepun dalam Budaya Membaca \u2013 YAB Perdana Menteri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 (PABKL 2022) mencipta kenangan tersendiri bagi Keluarga Malaysia apabila buat julung kalinya perasmian pada tahun ini disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob.\nDalam ucapan perasmian, YAB Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) sebagai penganjur utama PBAKL selepas penganjurannya yang terakhir dua tahun lalu.\nBuku adalah jendela ilmu dan \u00a0menerusi amalan membaca buku juga boleh mengubah dunia,\u201d jelas YAB Perdana Menteri ketika menyampaikan amanatnya kepada seluruh Keluarga Malaysia.\nMenurut YAB Perdana Menteri, kepentingan budaya membaca harus diutamakan oleh umat Islam. Melalui perkataan iqra\u2018, Allah SWT memerintahkan amalan membaca kepada seluruh umat Islam. Sudah tentu membaca mesti dihayati dalam konteks yang lebih luas khususnya bagi umat Islam apabila al-Quran merupakan sumber ilmu terbesar, termasuklah dalam bidang sains, sains sosial dan lain-lain. \u201cSudah tentulah kitab atau buku ini menjadi sumber ilmu yang luas dan tokoh ilmuwan Islam, Buya Hamka ada mengatakan bahawa amalan membaca buku memberikan kesan yang baik kepada jiwa,\u201c jelas Perdana Menteri. Beliau turut menyatakan bahawa bangsa berjaya ialah bangsa yang membaca kerana budaya membaca akan meningkatkan lagi ilmu pengetahuan.\nYAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri juga berkongsi pengalaman beliau dan menyarankan agar rakyat dapat mencontohi Jepun sebagai negara maju yang terasnya berakar umbi daripada amalan membaca. Semasa lawatan ke Jepun baru-baru ini, beliau menyaksikan bukan sahaja anak muda, malah seluruh masyarakat di Jepun mempunyai budaya dan semangat cinta akan buku. YAB Perdana Menteri turut menegaskan bahawa amalan membaca buku bukan semata-mata hanya untuk menimba ilmu, malah mampu meningkatkan kepintaran Keluarga Malaysia.\nKeterujaan penganjuran PABKL selepas berlalunya era pandemik mengimbau kembali pelbagai kenangan yang tercipta di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) sepanjang penganjurannya selama ini. PBAKL pada kali ini disertai oleh 170 syarikat pempamer dan terdapat 709 unit reruai yang menyasarkan kehadiran 700 ribu hingga satu juta pengunjung. Melalui kaedah bersemuka dan hibrid, kaedah tersebut berupaya menjadikan akses pengunjung ke PBAKL lebih meluas di seluruh negara dan antarabangsa.\n\u201cPenghasilan buku yang berkualiti oleh pengarang, penerbit dan pemegang taruh industri amat penting dalam memainkan peranan untuk membina kelangsungan negara dengan budaya membaca,\u201c jelas YAB Perdana Menteri semasa ucapan perasmian.\nSelain itu, YAB Perdana Menteri juga mengumumkan negeri Selangor sebagai Negeri Tamu PBAKL. Selepas tamat acara perasmian, beliau turut berkesempatan melawat reruai pempamer dan meluangkan masa melawat gerai jualan makanan di sekitar WTC. Turut hadir bersama-sama meraikan kunjungan YAB Perdana Menteri di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)\u00a0 ialah YB Senator Datuk Dr. Radzi Md Jidin, Menteri Kanan Pendidikan, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP,\u00a0 YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Sri Hamad Kama Piah Che Othman, ahli Lembaga Pengelola DBP dan YBhg. Dato\u2019 Haji Pkharuddin Haji Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia. Semasa kunjungan tersebut, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berkesempatan menyerahkan cenderamata buku terbitan DBP kepada YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri.\nUntuk maklumat lanjut berkaitan dengan program PBAKL, boleh layari laman sesawang www.klibf.my, manakala\u00a0maklumat berkaitan dengan promosi dan program DBP boleh ikuti menerusi media sosial DBP Malaysia dan DBPNiaga." "Lima Pegawai Askar Wataniah Malaysia\u00a0Terima Anugerah Tauliah Kehormat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBukit Keteri\u00a0\u2013 Sebanyak lima orang pegawai Rejimen Askar Wataniah mendapat penganugerahan Tauliah Kehormat atas limpah kurnia dan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta\u2019in Billah baru-baru ini.\nPelantikan ini dilakukan berdasarkan Seksyen 198 (5) Akta Angkatan Tentera 1972. Dalam penganugerahan Tauliah Kehormat berkenaan, penerima anugerah akan dilantik sebagai Pegawai (Kehormat) dalam Rejimen Askar Wataniah selaku Ahli Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Malaysia, Negeri Perlis berkuatkuasa mulai 7 April 2022 bagi tempoh dua tahun pelantikan.\nRaja Muda Perlis, Brigedier Jeneral DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan majlis penyerahan Surat Ucapan Tahniah kepada lima orang Pegawai Tauliah Kehormat Askar Wataniah Malaysia di Kem Bukit Keteri, Perlis pada hari ini.\nDalam majlis tersebut, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis merangkap Komander rejimen tersebut bertitah,\nDengan penganugerahan ini, mereka perlu memikul tanggungjawab untuk membantu dalam segala program pembangunan dan pengembangan Rejimen 504 Askar Wataniah di negeri Perlis. Mereka tidak berada dalam rangkaian pemerintahan Angkatan Tentera Malaysia, namun boleh berhubung secara rasmi melalui Pengerusi JAKPAW Malaysia Negeri Perlis mengenai apa-apa jua urusan berkaitan dengan pembangunan Angkatan Sukarela Persekutuan dalam negeri ini.\nAntara lima penerima bagi anugerah Tauliah Kehormat ini, ialah YB Leftenan Kolonel (Kehormat) Haji Zepri Saad, Pegawai Kewangan Negeri merangkap Timbalan Pengerusi JAKPAW Negeri Perlis yang baharu; Mejar (Kehormat) Naharudeen Othman, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri; Mejar (Kehormat) Ismasuhaimi Shariff, Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Negeri; Mejar (Kehormat) Ag Shaffie Ag Ahmadni, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri; dan Mejar (Kehormat) Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).\nHadir sama di majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi JAKPAW Negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Panglima Briged ke Enam Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Akib Haji Yusof dan Timbalan Komander Rejimen tersebut, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.\nSementara itu, Mohamad Zaidi\u00a0berkata, \u201cPenularan COVID-19 masih terasa, namun kita perlu beradaptasi dengan wabak ini dan meneruskan kebiasaan baharu seperti yang digariskan oleh pihak bertanggungjawab.\u201d\nSinergi antara Rejimen dengan pihak JAKPAW dan agensi awam serta swasta dalam negeri Perlis khususnya harus diteruskan dengan pelbagai alternatif bagi mencapai misi rejimen dalam merekrut, melatih dan mengekalkan keaktifan anggota sukarela negeri Perlis.\nAmatlah rugi tenaga kerja belia yang merupakan amanah dan tulang belakang negeri dan negara tercinta ini jika dibiarkan dan diabaikan tanpa perhatian dan sokongan.\nMengulas lebih lanjut, Rejimen 504 Askar Wataniah kini berada dalam rangka persiapan bagi acara berprestij tinggi,\u00a0iaitu Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri 33/22 yang bakal mengumpulkan semua Komander dari seluruh negara dalam membincangkan hala tuju Askar Wataniah." "Rukun Negara Manifestasi Perlembagaan Persekutuan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bersempena dengan Hari Ulang Tahun Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustafa Billah, Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan Program Bicara Khas yang menampilkan YBhg. Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, Pengasas Jurisprudens Watan merangkap Profesor Madya, Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang sebagai pembicara, manakala YBhg. Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Pakar Psikologi Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia sebagai pemudahcara.\nDatuk Dr. Wan Ahmad Fauzi yang juga merupakan Panel Khidmat Nasihat DBP memulakan perkongsiannya dengan menjelaskan ungkapan yang cukup dekat dengan Keluarga Malaysia, iaitu \u201cRaja dan Rakyat Berpisah Tiada\u201d.\nUngkapan \u2018Raja dan Rakyat Berpisah Tiada\u2019 mempunyai sejarah tersendiri dan menterjemahkan bahawa raja itu merupakan ketua tertinggi dalam sistem kemasyarakatan di Alam Melayu. Keadaan ini merupakan kesinambungan ataupun penerusan sistem masyarakat yang telah pun berlaku sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi.\n\u201cKeluarga Malaysia mestilah memahami istilah kemerdekaan yang selalu diucapkan bukanlah Tanah Melayu bebas daripada penjajahan. Peristiwa yang lebih besar berlaku pada 31 Ogos 1957 ialah kelahiran Persekutuan Tanah Melayu yang terdiri daripada sembilan buah kerajaan Melayu yang diperintah oleh Raja-raja Melayu berdaulat dengan dua buah negeri Selat, iaitu Melaka dan Pulau Pinang yang diserahkan oleh pentadbiran British kepada Kerajaan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong,\u201d kata Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi dalam Program Bicara Khas yang berlangsung secara maya menerusi JendelaDBP pada petang ini.\nKemerdekaan di sini menurutnya mestilah difahami oleh seluruh Keluarga Malaysia bahawa merdeka daripada campur tangan British di negeri Melayu dan merdeka daripada penjajahan British di negeri Selat. Tegas beliau, gagasan \u201cRaja dan Rakyat Berpisah Tiada\u201d mempunyai sejarah tersendiri, iaitu raja diangkat sebagai pemerintah tertinggi di negara ini bukan belaku secara paksaan, tetapi dengan secara rela hati.\nPenentangan terhadap Malayan Union yang berlaku dalam sejarah negara merekodkan raja dan rakyat bangun mempertahankan institusi diraja kerana institusi ini adalah tunjang kepada kedaulatan negara dan hal ini membuktikan betapa akrabnya hubungan raja dengan rakyat. Ikatan yang diwarisi sedemikian perlu diperteguhkan hingga masa depan. Hubungan ini katanya perlu disuburkan sepanjang masa kerana hal ini merupakan ikatan jati diri Keluarga Malaysia yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.\nDatuk Dr. Wan Ahmad Fauzi juga menjelaskan maksud di sebalik bangsa Malaysia, yakni merujuk rakyat Raja dan dalam konteks Alam Melayu adalah rakyat kepada raja Melayu tanpa kira apa-apapun agama, keturunan dan etnik. Sebelum tahun 1948, disebut rakyat negeri Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan sebagainya yang merujuk rakyat Sultan yang memerintah bahawa kesemua rakyat ini adalah rakyat raja. Paling menarik apabila alam dan laut Melayu pada satu masa dahulu berada di bawah kekuasaan Raja Melayu, maka secara tidak langsung kumpulan etnik pelbagai di dalam wilayahnya menjadi rakyat raja Melayu.\nSatu hal yang harus difahami bahawa Raja adalah Ketua Agama Islam bagi setiap negeri Melayu, maka betapa akrabnya hubungan tersebut hinggakan rakyat raja Melayu yang beragama Islam hingga kini dikenali sebagai orang Melayu, manakala rakyat baginda yang bukan beragama Islam sebaliknya dikenali sebagai orang asli. Tambah beliau, rakyat raja Melayu terus berkembang apabila penghijrahan pelbagai etnik dari wilayah lain ke Tanah Melayu ketika itu, diterima sebagai rakyat raja Melayu melalui kuatkuasa undang-undang.\nDalam masa yang sama, beliau amat berharap agar warganegara Malaysia dapat membetulkan fahaman tentang suatu perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan hari ini bukanlah semata-mata mencedok sistem Westminster (Sistem Perlembagaaan yang bersumberkan British), namun Perlembagaan Persekutuan terhasil daripada proses perkembangan perlembagaan berasaskan adat Melayu yang mengekalkan prinsip kedaulatan watannya.\nUjarnya lagi, Rukun Negara seharusnya lebih kerap dilafazkan sama ada pada peringkat rendah hingga ke pengajian tinggi serta di jabatan kerajaan. Rukun Negara bukanlah prinsip baharu, sebaliknya merupakan intipati kepada Wasiat Raja-Raja Melayu juga perkara yang sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Rukun Negara dapat menyatupadukan rakyat raja yang mudah difahami tanpa perlu membaca keseluruhan kandungan Perlembagaan, di samping membantu kerajaan menyuntik semangat kebangsaan yang utuh kepada warganegara.\nBeliau turut menjelaskan mengenai hubungan antara bahasa Melayu dengan Raja Melayu. Bahasa bukan semata-mata sebagai alat komunikasi tegasnya lagi, bahkan pengikat kejiwaan bangsa. Dengan bahasa dan kesusasteraan yang mempunyai nilai ilmu yang tinggi telah membawa jauh ilmu Melayu ke merata dunia. Bahasa ini jugalah bahasa yang digunakan oleh raja ketika memerintah sejak zaman silam dan kini masih terpelihara dalam perlembagaan. Semua pihak sewajarnya menyokong dan mendukung penuh aspirasi YAB Perdana Menteri bagi merealisasikan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa dan antara bahasa utama dunia.\nDatuk Dr. Wan Ahmad Fauzi menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia agar berusaha meningkatkan kefahaman tentang Raja dan demokrasi berperlembagaan bertunjangkan kedaulatan undang-undang.\n\u201cSemua pihak khususnya rakyat, ahli parlimen, badan kehakiman, badan eksekutif perlu mengekalkan kesetiaan kepada Raja seperti yang diikrarkan melalui Rukun Negara yang kedua. Bahasa kebangsaan dapat membina bangsa Malaysia berlandaskan jati diri watan untuk direalisasikan bukan sahaja secara lisan, tetapi tertanam dalam jiwa seluruh Keluarga Malaysia,\u201d ujar beliau mengakhiri perkongsian berkenaan." "Sri Lanka Bankrap?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSejarah membuktikan bahawa terdapat banyak negara yang pernah mengalami kebankrapan, namun dapat memulihkan semula ekonomi negaranya. Dalam tempoh 200 tahun yang lalu, sejumlah 83 buah negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Jerman, Jepun dan Britain pernah mengalami kebankrapan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bankrap atau muflis bermaksud ketidakupayaan melangsaikan atau membayar hutang. Kamus Pelajar Edisi Kedua pula mendefinisikan bankrap sebagai menderita kerugian dan tidak mampu membayar segala hutang.\nAS pernah diisytiharkan bankrap sebanyak lima kali sejak penubuhannya pada tahun 1776. Pada suatu ketika, AS tidak berupaya membayar hutang asing, manakala selebihnya negara itu tidak mampu menyelesaikan hutang dalaman. Kebankrapan yang dialami oleh AS berpunca daripada krisis kewangan dalam sektor perbankan, yang buat pertama kali adalah pada tahun 1790 dan yang terakhir pada tahun 1933. Jerman pula pernah mengalami kebankrapan sebanyak lapan kali dalam tempoh 215 tahun, iaitu pada tahun 1939 dan 1948 akibat Perang Dunia Kedua. Britain berdepan kebankrapan sebanyak empat kali, kali terakhir adalah pada tahun 1932. Pada tahun 1982, Mexico berdepan dengan kebankrapan apabila gagal melangsaikan hutang bernilai A.S$80 bilion. Hutang tersebut menyebabkan Mexico gagal untuk membayar pinjaman AS dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Rusia pada tahun 1998 hanya mampu membayar balik kurang A.S$10 bilion daripada A.S$17 bilion keseluruhan hutangnya dengan IMF.\nPada tahun 2001, Argentina gagal membayar hutangnya sebanyak A.S$145 bilion sekali gus diisytiharkan bankrap. Negara Amerika Selatan itu masih mengalami kesukaran untuk melangsaikan hutang-hutangnya. Pada 22 Mei 2020, Argentina gagal membayar A.S$500 juta pada tarikh tamat tempoh kepada pemiutangnya. Iceland juga pernah diisytiharkan bankrap kerana mempunyai hutang bernilai A.S$85 bilion pada tahun 2008. Greece diisytiharkan bankrap pada tahun 2009 akibat krisis kewangan dan kemelesetan ekonomi ekoran peningkatan perbelanjaan kerajaan bagi penganjuran Sukan Olimpik 2004. Hutang Greece pada ketika itu mencecah A.S$402 bilion.\nApabila sesebuah negara bankrap, ketiadaan sistem dan institusi yang paling asas akan berlaku. Syarikat pembekal kuasa menghentikan operasi, stesen minyak dan bank ditutup, perniagaan atau kedai runcit kehabisan makanan dan kerajaan tidak dapat membayar gaji kakitangan awam. Selain itu, inflasi mata wang akan berlaku. Negara akan mula mencetak wang dalam kuantiti yang banyak bagi menyelesaikan hutang. Apabila wang banyak di pasaran, harga barangan pula akan meningkat. Hal ini terjadi kerana nilai wang tersebut telah susut. Penyusutan nilai mata wang juga akan menjejaskan simpanan rakyat dalam bank.\nKebankrapan negara menyebabkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat akan meningkat secara mendadak. Perkara ini berlaku kerana kerajaan tidak mampu lagi membayar gaji kakitangan awam. Projek infrastruktur terpaksa dibatalkan sekali gus mewujudkan pengangguran. Sektor swasta juga terkesan mengakibatkan pemberhentian pekerja yang ramai kerana pendapatan syarikat terjejas. Pengangguran yang tinggi juga akan meningkatkan kadar jenayah seperti kecurian dan aktiviti penyeludupan barang kerana rakyat memerlukan wang dan barangan keperluan untuk meneruskan kehidupan. Sebagai contoh, ketika diisytiharkan bankrap, Greece terpaksa menghentikan 30 ribu orang kakitangan awamnya. Jumlah tersebut tidak termasuk pekerja sektor swasta akibat tidak mampu membayar gaji mereka.\nBagi melangsaikan hutang negara, kerajaan akan menaikkan kadar cukai. Sebarang bentuk bantuan seperti bantuan sara hidup serta subsidi minyak, kesihatan dan pendidikan akan dikurangkan atau dihapuskan bagi mengurangkan perbelanjaan negara. Cukai yang tinggi dan ketiadaan subsidi sudah pasti akan membebankan kehidupan seharian rakyat. Bebanan hutang juga akan menyebabkan projek pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam seperti kemudahan kesihatan, taman perumahan, institusi pendidikan dan jalan raya tergendala.\nApabila negara berdepan dengan kebankrapan, gaya hidup seharian rakyat juga akan berubah. Pada ketika itu, rakyat hanya memikirkan cara untuk mendapatkan wang bagi meneruskan kehidupan. Aktiviti lain seperti riadah, melancong atau membeli-belah terpaksa dilupakan kerana kemandirian diri dan keluarga menjadi keutamaan. Hal ini juga akan menyebabkan rakyat tidak bahagia dan kadar depresi pula terus meningkat. Kebankrapan negara turut mencetuskan suasana huru-hara sekiranya rakyat mengadakan tunjuk perasaan yang kadangkala boleh juga mencetuskan perang saudara.\nKrisis Ekonomi Sri Lanka\nKeadaan huru-hara berlaku apabila Sri Lanka berdepan dengan krisis ekonomi. Penunjuk perasaan mendesak Gotabaya Rajapaksa, Presiden Sri Lanka meletakkan jawatan. Perintah berkurung di Colombo dikenakan selepas penunjuk perasaan cuba menyerbu kediaman peribadi Presiden. Penunjuk perasaan mendakwa pentadbiran Rajapaksa menyebabkan rizab pertukaran asing Sri Lanka susut dengan pantas. Secara keseluruhannya, hutang luar negara Sri Lanka mencecah A.S$51 bilion. Setakat April 2021, Bank Pembangunan Asia telah memberikan pinjaman kepada Sri Lanka sebanyak A.S$4415.7 juta. Seterusnya pinjaman kepada China sebanyak A.S$3388.2 juta, Jepun (A.S$3360 juta), Bank Dunia (A.S$3230.9 juta), India (A.S$859.3 juta) dan lain-lain (A.S$3038.5 juta). Pinjaman pasaran pula bernilai A.S$16 383.4 juta.\nUntuk tahun 2022, Colombo perlu membayar A.S$7 bilion hutang luar negaranya. Pada Februari 2022, Sri Lanka mempunyai A.S$2.31 bilion dalam rizab pertukaran asingnya. Jumlah tersebut semakin susut apabila pada Mac 2022, Sri Lanka mempunyai A.S$1.6 bilion sahaja. Akibat kekurangan wang, Sri Lanka telah mengambil pinjaman jangka pendek dari India, China dan Bangladesh. Bangladesh memberikan pinjaman kepada Sri Lanka sebanyak A.S$200 juta pada Jun 2021. Pada Januari 2022, Sri Lanka meminta China menjadualkan semula pembayaran hutangnya. China memberikan bantuan kepada Sri Lanka dengan menyediakan pertukaran Yuan sebanyak 10 billion Yuan. Pertukaran yang bernilai A.S$1.5 bilion itu telah memberikan rangsangan terhadap rizab pertukaran asing Sri Lanka namun masih tidak mencukupi untuk mengurangkan krisis.\nSri Lanka juga meminjam A.S$500 juta dari India pada Februari 2022 untuk membeli minyak. India juga memberikan kredit kepada Sri Lanka bernilai A.S$1 bilion bagi membeli makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan lain. Krisis ekonomi memberikan kesan buruk terhadap import penting, menyebabkan kenaikan harga makanan dan barangan serta kekurangan barangan keperluan seperti minyak masak dan bahan api. Setakat Mac 2022, nilai Rupee Sri Lanka (LKR) 290.4 adalah bersamaan dengan A.S$1.\nKenaikan Harga Makanan dan Barangan\nHarga sebiji kelapa pada Mac 2022 bernilai LKR91.39 berbanding dengan LKR50.4 pada Mac 2019. Sekilogram bawang pula bernilai LKR158 (Mac 2022) berbanding dengan LKR79.8 sekilogram (Mac 2019). Sebiji kentang pula bernilai LKR260.67 (Mac 2022) berbanding dengan LKR156.7 (Mac 2019) untuk sekilogram kentang. Harga sebiji telur bernilai LKR26.7 (Mac 2022) berbanding dengan LKR18.7 (Mac 2019). Ikan kering bernilai LKR848 sekilogram (Mac 2022) berbanding dengan LKR613.8 sekilogram (Mac 2019). Ayam bernilai LKR690 sekilogram (Mac 2022) berbanding dengan LKR445 sekilogram (Mac 2019). Harga sekilogram daging lembu bernilai LKR1454.55 (Mac 2022) berbanding dengan LKR979.1 (Mac 2019). Sekilogram tomato pula bernilai LKR310.42 (Mac 2022) berbanding dengan LKR105.2 (Mac 2019).\nSekilogram kunyit berharga LKR3583.33 (Mac 2022) berbanding dengan LKR659.9 (Mac 2019). Harga 450 gram roti ialah LKR80 (Mac 2022) berbanding dengan LKR62.4 (Mac 2019). Lentil pula berharga LKR325.72 sekilogram (Mac 2022) berbanding dengan LKR149.8 sekilogram (Mac 2019). Harga sekilogram kacang kuda ialah LKR377.55 (Mac 2022) berbanding dengan LKR239.6 (Mac 2019). Beras berharga LKR162.52 untuk sekilogram (Mac 2022) berbanding dengan LKR84.1 (Mac 2019). Harga sekilogram nenas ialah LKR262.5 (Mac 2022) berbanding dengan LKR172.7 (Mac 2019). Sekilogram gandum bernilai LKR155.24 (Mac 2022) berbanding dengan LKR94.33 (Mac 2019). Daun sirih bernilai LKR564.98 (Mac 2022) untuk 100 helai berbanding dengan LKR316.86 (Mac 2019).\nHarga sekilogram kacang dal setakat 23 Mac 2022 ialah LKR420 berbanding dengan LKR180 pada 23 Mac 2021. Seliter minyak kelapa bernilai LKR852 (Mac 2022) berbanding dengan LKR486 (Mac 2021). Terung pula bernilai LKR240 (Mac 2022) sekilogram berbanding dengan LKR140 (Mac 2021). Sekilogram gula bernilai LKR188 berbanding dengan LKR112 (Mac 2021). Lobak merah bernilai LKR240 (Mac 2022) sekilogram berbanding dengan LKR160 (Mac 2021).\nKekurangan Bahan Api\nCeylon Petroleum Corporation (CPC) yang merupakan syarikat kendalian kerajaan mengumumkan pengehadan kuantiti bahan api yang boleh dibeli oleh orang ramai akibat kekurangan bahan api. Pengumuman pengehadan kuantiti bahan api merangkumi larangan mengisi minyak ke dalam bekas bagi tujuan simpanan, di samping motosikal hanya dibenarkan mengisi maksimum sebanyak empat liter petrol sahaja, manakala kenderaan tiga roda pula hanya lima liter. Pada Mac 2022, CPC menaikkan harga seliter petrol daripada LKR137 pada tahun 2021 kepada LKR254. Harga seliter diesel juga meningkat sehingga LKR176 pada Mac 2022 berbanding dengan LKR104 pada tahun 2021. Harga satu tong gas seberat 12.5kg berharga LKR2750 pada Mac 2022 berbanding dengan LKR1493 pada tahun 2022. Harga tong gas memasak yang terlalu mahal menyebabkan rakyat Sri Lanka mula menggunakan kayu api dan minyak tanah sebagai alternatif.\nKebankrapan Ancam Kedaulatan Negara\nKedaulatan dan integriti wilayah terancam apabila negara berdepan dengan kesukaran membayar hutang atau bankrap. Pada Disember 2017, Sri Lanka telah menyerahkan pelabuhan Hambantota kepada China dengan pajakan selama 99 tahun dalam satu perjanjian yang digelar pihak pembangkang dan kesatuan sekerja sebagai \u201cpengkhianatan\u201c. Sebelum penyerahan dilaksanakan, Colombo telah menandatangani perjanjian pajakan bernilai A.S$1.1 bilion pada Julai 2017 bagi menjual 70 peratus kepentingannya di Hambantota kepada China. Pelabuhan bernilai A.S$1.3 bilion dibina dengan pinjaman daripada bank milik kerajaan China dan mula dibuka pada tahun 2010. Walau bagaimanapun, Sri Lanka bergelut untuk membayar balik pinjaman tersebut.\nDua buah firma China dikenali sebagai Hambantota International Port Group (HIPG) dan Hambantota International Port Services (HIPS) yang diuruskan oleh China Merchants Port Holdings Company (CMPort) bersama pihak berkuasa Pelabuhan Sri Lanka memiliki pelabuhan Hambantota dan zon pelaburan di sekitarnya. Perjanjian pajakan yang ditandatangani pada Julai 2017 juga termasuk konsesi cukai untuk pelabuhan dan pelepasan cukai selama 32 tahun untuk firma-firma China. Pemberian konsesi cukai yang besar oleh kerajaan kepada firma-firma China telah dipersoalkan pembangkang atas alasan kewajaran konsesi tersebut diberikan.\nSri Lanka juga mahu mengumpul A.S$8 bilion untuk meningkatkan jumlah rizab asing yang semakin berkurangan melalui pajakan atau penjualan aset-aset awam. Antara aset awam yang dipajak bagi jangka panjang ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Katunayake dengan nilai pajakan sebanyak A.S$2 bilion, Lapangan Terbang Mattala (A.S300 juta), Lapangan Terbang Ratmalana (A.S$400 juta) dan Colombo Port City (A.S$4 billion). Colombo Port City yang dilancarkan pada September 2014 merupakan projek bersama antara China Communications Construction Company Ltd dengan pihak berkuasa Pelabuhan Sri Lanka. Seluas 125 hektar tanah Colombo Port City merupakan milik kerajaan Sri Lanka, manakala 88 hektar telah dipajak selama 99 tahun kepada China. China turut ditawarkan pegangan kekal seluas 20 hektar.\nPenyerahan projek pembangunan Pelabuhan Utara Colombo turut diatur untuk pelaburan bernilai A.S$600 juta, manakala saham Sri Lanka Telecom akan dijual pada harga A.S$500 juta. Saham Sri Lanka Insurance Corporation pula untuk A.S$300 juta. Sri Lanka terpaksa memajak atau menjual aset-aset negara bagi menstabilkan semula keadaan ekonominya selain tidak berupaya untuk membayar hutang, sekali gus menjadi bukti kedaulatan negara boleh tercabar dengan isu hutang atau risiko kebankrapan." "Kesihatan Mental Tanggungjawab Bersama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKesihatan mental dapat memberikan keupayaan tinggi dari aspek emosi dan jasmani seseorang dalam mengharungi cabaran kehidupan. Usia remaja yang menjadi peringkat peralihan kepada dewasa kebiasaannya menjadikan remaja mahukan lebih perhatian dan sanjungan. Apakah faktor yang menyebabkan remaja begitu berani melakukan perbuatan tersebut? Adakah mereka menghadapi masalah mental kronik atau kegagalan mengawal emosi?\u00a0 Namun, kadang kala mereka tidak tahu saluran yang betul untuk menyampaikan perhatian yang mereka harapkan apabila tidak mendapat reaksi positif, sebaliknya mendapat kecaman.\nUniversiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan kerjasama Bahagian Mahasiswa Holistik, Kementerian Pengajian Tinggi dan Majlis Kaunseling dan Kerjaya Universiti-universiti Malaysia (MAKUMA) telah menganjurkan Konvensyen Pembimbing Rakan Siswa Kebangsaan (PRSK) pada 27 hingga 29 Mei 2022 lalu bertempat di Institut Sosial Malaysia, Kuala Lumpur. Seramai 150 orang mahasiswa dari 20 buah universiti awam hadir dalam konvensyen tersebut.\nPenganjuran Konvensyen PRSK Institut Pengajian Tinggi (IPT) MAKUMA 2022 merupakan satu daripada inisiatif secara menyeluruh bersama-sama pihak KPT dan MAKUMA dalam menyediakan usaha dan inisiatif untuk membantu mahasiswa. Sepanjang konvensyen ini berlangsung, ramai tokoh kaunseling dan psikologi dijemput untuk berkongsi ilmu, idea, pengalaman serta tahap kesiapsiagaan para mahasiswa kumpulan pembimbing rakan siswa supaya dapat terlibat dalam ruang lingkup pelajar secara dekat dan terperinci. Konvensyen Pembimbing Rakan Siswa ini juga menjadi satu wadah perhubungan yang lebih baik di antara perwakilan universiti dengan universiti demi kesejahteraan mahasiswa.\nPeranan Pembimbing Rakan Siswa merupakan salah satu penghubung para kaunselor dan pegawai psikologi universiti dalam usaha bersama menjamin kesejahteraan kampus dari sudut fizikal dan emosi.\u00a0 Usaha menghimpunkan semua wakil kepimpinan Pembimbing Rakan Siswa (PRS) 20 universiti awam seiring dengan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi dalam menjadikan kampus di IPT Kampus Sejahtera dan berkebajikan dan memerlukan sokongan penuh daripada seluruh warga kampus.\nPelbagai acara dan aktiviti telah dilaksanakan sepanjang tiga hari program tersebut berlangsung. Antaranya ialah slot bersama pakar dalam membicarakan isu dan permasalahan mental pelajar. Konsepnya mudah, iaitu proses individu mengawal diri atau sebaliknya dan memerlukan sokongan, bantuan dan pertolongan daripada rakan sebaya di kampus.\nTujuan utama penganjuran konvensyen ini adalah untuk memberikan ilmu dan perkongsian pengalaman dalam proses membantu rakan siswa yang masih terkesan dengan pandemik COVID-19, khususnya dari segi kesihatan mental dan kesejahteraan emosi. Mengambil kira kemasukan para mahasiswa ke kampus kini yang mencapai 80%, pastinya terdapat pelbagai isu dan permasalahan yang perlu ditangani secara bersama dan memerlukan tindakan segera bagi memastikan tumpuan kepada kecemerlangan akademik, kesejahteraan emosi dan kendiri dapat dicapai. Usaha juga perlu diteruskan dalam meningkatkan pemahaman tentang peranan dan tanggungjawab kelompok PRS universiti yang matang dan berkewajipan dalam proses membantu di kampus.\nSelain itu, konvensyen ini memberi ruang dalam menyediakan barisan kepimpinan pelajar yang berfokus kepada perkhidmatan dan proses membantu dalam kalangan mahasiswa dan berupaya menjadi suri teladan kepada mahasiswa yang lain. PRS berperanan sebagai penghubung kepada khidmat bimbingan dan kaunseling, sebagai contoh membuat rujukan jika perlu. Program ini merupakan tanggungjawab bersama dalam membuka lembaran baharu kepada mahasiswa dan memperkasakan perkhidmatan kaunseling serta kesejahteraan kampus. PRS perlu lebih proaktif, produktif dan dinamik dalam kalangan warga kampus.\nMajlis Penutupan Konvensyen Pembimbing Rakan Siswa Kebangsaan telah disempurnakan oleh YBhg. Lt Jeneral Datuk Hasagaya bin Abdullah, Naib Canselor UPNM. Turut hadir Prof. Ts. Dr. Muhd Zu Azhan bin Yahya, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPNM merangkap Pengerusi MAKUMA, En. Kaliapan a/l Rajakumaran mewakili Bahagian Mahasiswa Holistik KPT, En. Mohd Hanafi bin Mohd Hanafiah, Timbalan Pengarah Institut Sosial Malaysia dan barisan pengurusan tertinggi universiti." "Memperkukuh Pendapatan Asas Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada 16 Mei 2018, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan Malaysia mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan bermula pada 1 Jun 2018. Pelbagai reaksi muncul di sana-sini, rata-ratanya menyambut baik pengumuman tersebut, tidak kurang juga ada yang menganggap bahawa keputusan tersebut sebagai kurang tepat.\nKini, empat tahun berlalu (tanpa GST) dan sejak belakangan ini sering kedengaran cadangan daripada pelbagai pihak agar GST diperkenalkan semula. Bermula dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz yang pada awal tahun 2022 telah memberikan bayangan bahawa GST berkemungkinan akan diperkenalkan semula bagi membendung ketirisan cukai di negara ini.\nTidak lama kemudian, iaitu pada Mei lalu, Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, menerusi wawancara bersama-sama Nikkei Asia, di Tokyo menjelaskan bahawa kerajaan tidak menolak kemungkinan akan mengembalikan GST sebagai satu daripada cara yang efektif untuk menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat. Tambah beliau lagi, GST juga dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara dan mampu untuk membantu kerajaan menampung pemberian subsidi bagi keperluan rakyat.\nKita telah kehilangan RM20 bilion pendapatan tahunan apabila kita memansuhkan GST dan mengembalikan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Tiada negara di dunia ini yang kembali daripada GST kepada SST, melainkan Malaysia\nBeliau juga menjelaskan bahawa kepimpinannya sedar tentang persepsi negatif mengenai GST tetapi kerajaan sudah tidak mempunyai banyak pilihan pada ketika ini.\nTambah beliau lagi, dalam usaha mengembalikan GST, kerajaan akan mencari jalan yang terbaik untuk mendidik dan menimbulkan kesedaran tentang sudut positif GST serta sistem pengutipan cukai yang lebih telus. Kerajaan juga akan memastikan kadar GST yang akan diperkenalkan semula kelak tidak terlalu tinggi sehingga membebankan rakyat. Selain itu, kerajaan juga sedang mengusahakan program rasionalisasi subsidi \u00a0bagi membantu isi rumah berpendapatan rendah dan menengah.\nPandangan pelbagai pihak mengenai GST ternyata menarik perhatian Bank Negara (BNM) yang baru-baru ini turut menyokong idea mengembalikan semula GST kerana hanya dengan berbuat demikian BNM yakin akan dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh kerajaan.\nHimpitan ekonomi yang melanda negara dicetuskan oleh pelbagai faktor, antaranya termasuklah pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang telah menaikkan harga bahan api dan barangan keperluan makanan import sekali gus berkemungkinan menjejaskan kewangan kerajaan serta meningkatkan keperluan untuk mendapatkan lebih banyak pendapatan. Hal ini ditambah lagi dengan jumlah subsidi bahan api kerajaan yang dijangka mencecah paras RM28 bilion (AS$6.4 bilion) pada tahun ini (peningkatan mendadak daripada hanya RM11 bilion pada tahun 2021 berikutan lonjakan harga bahan api global).\nMeskipun memperkenalkan semula GST belum dimuktamadkan, namun sudah kedengaran pelbagai kebimbangan yang disuarakan oleh banyak pihak. Yang paling ditakutkan adalah berlaku kenaikan harga barangan yang pastinya akan membebankan pengguna dan rakyat keseluruhannya.\nMenurut Profesor Ekonomi Sunway University, Dr. Yeah Kim Leng, ketika diwawancara oleh Berita Harian, keadaan yang ideal untuk melaksanakan semula GST adalah ketika inflasi rendah dan stabil; pekerjaan dan pertumbuhan gaji yang mampan; dan ketika pendapatan rakyat meningkat untuk menampung beban sara hidup. Pada masa yang sama katanya, kadar yang lebih rendah berbanding dengan enam peratus di bawah SST pada masa ini masih boleh dipertimbangkan. Selain itu, bantuan tunai sekali beri untuk isi rumah miskin adalah wajar untuk mengimbangi GST terutamanya untuk isi rumah berpendapatan rendah.\nSementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff pula berpendapat bahawa sekarang bukan masa yang sesuai untuk melaksanakan GST. Tambahnya lagi, meskipun GST merupakan cara yang paling mudah bagi kerajaan menambahkan hasil pendapatan, namun GST akan menyebabkan rakyat tertekan kerana terpaksa membayar cukai tambahan ke atas barangan dan perkhidmatan, iaitu dengan harga barang telah sedia tinggi. Hal tersebut turut ditambah lagi dengan isu ketirisan dan rasuah yang menyebabkan kerajaan kehilangan sebanyak RM50 bilion hingga RM60 bilion pada setiap tahun. Tidak terkecuali katanya, kutipan GST yang lambat dipulangkan kepada peniaga juga perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum GST diperkenalkan semula.\nMenerusi kaji selidik yang dibuat oleh Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) pada Mei 2020 mendapati bahawa sebanyak 499 buah syarikat menyokong supaya GST diperkenalkan semula bagi menggantikan SST. Walau bagaimanapun terdapat cadangan penambahbaikan yang dikemukakan bagi mengurangkan kadar GST, iaitu antara tiga peratus hingga empat peratus bagi merangsang persekitaran perniagaan yang seterusnya dapat menghasilkan pelaburan dan peluang pekerjaan yang lebih tinggi serta meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.\nTurut dikemukakan adalah cadangan untuk menjadikan barangan dan perkhidmatan perlu berkadar sifar; mengekalkan ambang pendaftaran GST pada RM500 ribu; serta meminimumkan penangguhan pembayaran balik terutamanya kepada pengeksport dan perniagaan yang mempunyai bekalan berkadar sifar memandangkan tempoh pembayaran antara enam bulan hingga lapan bulan menjadikan GST sebagai beban cukai terkumpul.\nTidak dinafikan bahawa GST merupakan kaedah yang terbaik dalam mengembangkan pendapatan asas negara yang terjejas teruk khususnya untuk membantu kerajaan dalam menangani inflasi dan kos sara hidup yang semakin menghimpit rakyat. Oleh itu, sekiranya GST satu-satunya jalan keluar daripada kemelut ini, maka kerajaan perlu meyakinkan rakyat bahawa langkah ini bukan sahaja dapat menjamin pengutipan cukai yang lebih telus tetapi pada akhirnya nanti cukai tersebut akan dipulangkan semula kepada rakyat dan negara dalam pelbagai bentuk bantuan dan pembangunan.\nJanji Perdana Menteri bahawa satu pelan komprehensif akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet untuk mencari kaedah dan pelaksanaan yang terbaik sekiranya GST diperkenalkan semula kelak juga pastinya akan diyakini dapat\u00a0 membawa keputusan yang terbaik untuk Keluarga Malaysia." "KPM Umum Tarikh Keputusan Peperiksaan SPM 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan dalam suatu kenyataan bahawa keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 akan dikeluarkan pada Khamis minggu depan (16 Jun 2022).\nSemua calon SPM persekolahan boleh memperoleh keputusan peperiksaan SPM di sekolah masing-masing bermula pukul 10.00 pagi pada tarikh tersebut.\nPada masa yang sama, slip keputusan peperiksaan bagi calon peperiksaan SPM persendirian, akan mula dihantar ke rumah masing-masing melalui pos pada hari yang sama keputusan dikeluarkan.\nSetiap calon peperiksaan SPM 2021 boleh mendapatkan keputusan peperiksaan melalui dua kaedah, seperti yang berikut:\nTempoh operasi maklum balas bermula pada pukul 10.00 pagi hingga 6.00 petang (16 Jun \u2013 24 Jun 2022).\u00a0\nKPM sentiasa komited untuk terus melaksanakan yang terbaik demi Keluarga Malaysia terutama dalam pelaksanaan konsep Sekolahku SEJAHTERA." "A-Heart Terima Dana daripada Aureo Gallery untuk Pembangunan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur-Aureo Gallery menyumbangkan sebanyak RM270 000 kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis untuk tujuan membantu menjayakan projek pembangunan Pusat Autisme Negeri Perlis (A-Heart).\nPengasasnya, Serena Cham mempersembahkan cek kepada Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam upacara yang diadakan di galeri berkenaan di Vertical Business Suites, Bangsar South, Kuala Lumpur semalam.\nBerangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Penaung Diraja A-Heart. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBhg. Puan Sri Dato\u2019 Akmal Abdul Salam dan YBhg. Dato\u2019 Dr. Syed Abdul Aziz Syed Zin.\nTuanku Raja Muda menitahkan bahawa status terkini projek A-Heart yang hendak dibangunkan oleh YTSP Perlis bersama-sama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tersebut kini dalam peringkat rundingan bagi penubuhan secara kolaborasi bersama-sama Bahagian Genius Kementerian Pendidikan Malaysia. Pada masa ini, beberapa cadangan dan peranan antara pihak-pihak berkepentingan sedang dalam penelitian.\nSementara itu, Serena memaklumkan bahawa Aureo Gallery yang diasaskan pada tahun 2017 dan beribu pejabat di Kuala Lumpur mewakili artis terkenal yang hebat di seluruh dunia dan mempamerkan karya mereka pada peringkat antarabangsa. Hasrat mereka termasuklah untuk mengembangkan bakat ke Singapura, Jakarta dan Dubai dalam masa terdekat ini.\u00a0 Aureo Gallery bekerjasama secara langsung dengan artis dan rakan kongsi untuk mempromosikan dan membangunkan era baharu untuk industri seni.\nBagi YBhg. Puan Sri Dato\u2019 Akmal pula, beliau berpandangan bahawa Aureo Gallery akan memberikan tumpuan dengan menyokong artis-artis solo untuk mempamerkan karya seni mereka kepada dunia dengan membantu mereka mencapai pengiktirafan bertaraf dunia." "Tulisan Jawi: Warisan Bangsa yang Berharga\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJOHOR \u2212 Apabila menyebut tulisan Jawi, maka terlintas di fikiran bahawa tulisan tersebut hanya diguna pakai oleh orang Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana tulisan Jawi begitu sinonim dengan bangsa Melayu itu sendiri. Di samping itu, hal ini turut menunjukkan bahawa tulisan Jawi memainkan peranan yang signifikan dalam perkembangan tamadun Melayu.\nSejarah tulisan Jawi bermula daripada pedagang yang berdagang di Tanah Melayu dan pendakwah Arab yang singgah ke sini sekitar tahun 1400 yang lalu. Kecintaan bangsa Melayu terhadap Islam terserlah apabila mereka menggunakan atau mengadaptasikan huruf yang ada di dalam al-Quran kepada sistem tulisan mereka sendiri, iaitu tulisan Jawi, dengan penambahan beberapa huruf yang sesuai dengan sebutan orang Melayu seperti huruf ga, ca dan\u00a0nga.\u00a0Penambahbaikan dan kesesuaian ini berdasarkan kesesuaian budaya dan keperluan bangsa Melayu.\nTulisan Jawi kemudiannya berkembang dan diadaptasi serta digunakan secara meluas yang akhirnya menjadi simbol dan identiti bangsa Melayu pada ketika itu di seluruh kepulauan Melayu dan Nusantara. Orang Melayu pada zaman dahulu menggunakan tulisan ini dalam segenap perkara termasuklah bidang politik, ekonomi, sosial dan pendidikan. Sistem ejaan dan tulisan Jawi yang digunakan kini berdasarkan kepada sistem yang terdapat dalam buku Pedoman Ejaan Jawi\u00a0yang Disempurnakan pada tahun 1986, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Buku ini dihasilkan daripada rumusan Konvensyen Tulisan Jawi Peringkat Kebangsaan pada tahun 1984.\nPeranan tulisan Jawi sangat penting dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada pelosok dunia Melayu dengan identitinya yang tersendiri. Contohnya, kitab Bustan al-Salatin oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri, menggunakan tulisan Jawi dalam menyampaikan ilmu kepada penduduk di Alam Melayu. Tulisan Jawi turut digunakan dalam penulisan syair, selain menyampaikan ilmu pengetahuan dalam hukum kanun, surat-menyurat, duit siling, watikah, batu nisan dan lain-lain.\nNamun begitu, pada era pendigitalan ini, kita mendapati bahawa tulisan Jawi hampir dilupakan. Hal ini bermula apabila kedudukan tulisan Jawi diambil alih oleh tulisan Rumi seperti yang termaktub dalam Kongres Persuratan Melayu Malaya ke-2 pada tahun 1954, yang mengatakan bahawa sudah sepatutnya tulisan Rumi ini dirasmikan sebagai bahasa persuratan Melayu dengan tidak menghapuskan tulisan Jawi hingga suatu masa yang akan\u00a0menentukannya. Maka itu, pada hari ini kita lihat tulisan Jawi tidak lagi digunakan dalam urusan rasmi masyarakat melainkan dalam hal keagamaan seperti teks khutbah, subjek Pendidikan Islam dan hal lain yang berkaitan dengannya.\n\n\u201cTulisan Jawi merupakan warisan bangsa yang sangat berharga dan wajib dipelihara oleh bangsa Melayu secara keseluruhannya. Untuk memartabatkan tulisan Jawi, kita seharusnya perlu mengamalkan konsep PKPARJ, iaitu kita perlu ada Polisi, Kerjasama, Pemupukan, Amalan, Reputasi dan Jaminan.\u201d\nDemikianlah antara penerangan yang diberikan oleh beberapa orang panel jemputan, iaitu Profesor Emeritus Tan Sri Dato\u2019 Dzulkifli Abdul Razak, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; Profesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Teo Kok Seong, Felo Utama Bersama Institut Kajian dan Etnik (KITA), dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM; Profesor Dr. Hj. Abdul Rasid Jamian, Profesor Pendidikan Bahasa, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI; serta Dr. Rusmadi Baharudin, Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa, Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka, dalam program Webinar Pemerkasaan Tulisan Jawi, anjuran Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan UIAM Pagoh, Jabatan Bahasa Melayu dengan kerjasama Office of MLCOM KLMSS, menerusi siaran secara langsung (secara dalam talian) pada pukul 3.00 petang tadi." "Perkukuh Jati Diri untuk Memartabatkan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBukit Kiara \u2013 Bersempena dengan Program Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2022,\u00a0 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengadakan \u201cForum Memartabatkan Bahasa Melayu di Persada Dunia\u201c yang bersiaran secara langsung pada hari ini, pada pukul 2.30 petang di Studio 2, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, KPM, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.\nPanel undangan forum terdiri daripada Prof. Madya Dr. Ramalinggam A/L Rajamanickam, Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia dan Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Yang turut hadir ialah Tuan Haji Mohd Khair Ngadiron, iaitu Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, selaku moderator.\n\nMenurut Prof. Madya Dr. Ramalinggam, bahasa Melayu memang bahasa antarabangsa kerana sejak dahulu lagi dan merupakan bahasa lingua franca. Dalam era kini katanya, usaha proaktif ke arah mengantarabangsakan bahasa Melayu sedang dijalankan oleh kerajaan sebagai pembuat dasar. Di samping itu, perlu ada kerjasama antara kementerian untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi yang seterusnya mengangkat bahasa Melayu ke peringkat dunia.\nTambah beliau, dalam institusi pendidikan, antara program yang perlu diberi keutamaan termasuklah program Pengajian Bahasa Melayu serta memperbanyak penerbitan jurnal dalam bahasa Melayu yang bertaraf antarabangsa.\nSementara itu, bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi dapat digerakkan melalui peranan industri yang memainkan peranan yang amat besar dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama.\nDalam sesi temuduga juga majikan perlu menggunakan bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu perlu diutamakan selain tidak menafikan kepentingan bahasa Inggeris.\nMenurutnya lagi, syarikat antarabangsa juga tidak dilarang untuk menggunakan bahasa Inggeris, tetapi perlu digunakan seiring dengan penggunaan bahasa Melayu. Hal ini untuk meningkatkan kewibawaan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa.\nTambahnya, setiap warganegara juga perlu boleh berbahasa Melayu kerana bahasa Melayu ialah bahasa rasmi negara. Jati diri bahasa kebangsaan sangat penting kerana jika masyarakat ingin maju dalam pelbagai bidang, maka perlulah mencintai akan bahasa Melayu dan tidak meminggirkan bahasa Melayu. Jati diri ini perlu disemai dalam jiwa anak-anak sejak kecil lagi oleh ibu bapa. Peranan ibu bapa di rumah dan para guru di sekolah sangat penting untuk menanam rasa kecintaan terhadap bahasa Melayu dalam kalangan anak-anak muda sekarang ini.\nSeseorang ilmuwan seharusnya boleh memantulkan ilmu dalam pelbagai bahasa walaupun sumber ilmu itu daripada pelbagai bahasa kerana bahasa itu digunakan mengikut konteks.\nBeliau menambah, perlu diperbanyakkan program dan aktiviti yang dapat menyemarakkan bahasa kebangsaan sebagaimana yang diusahakan oleh DBP. Menurutnya, ahli akademik juga perlu berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan dan bukannya menggunakan bahasa Inggeris semata-mata. Selain itu, peruntukan hukuman dan undang-undang kebahasaan perlu dikuatkuasakan dengan tegas oleh pihak yang berkenaan.\nMasyarakat juga perlu memartabatkan bahasa Melayu sebagai alat penyatuan dan perpaduan bangsa tanpa perlu meminggirkan bahasa Inggeris. Setiap warganegara perlu mendaulatkan bahasa kebangsaan dan seterusnya dapat mengangkat bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.\nSementara itu, menurut Prof. Madya Ts. Dr. Jessica, masyarakat seharusnya diberi peluang untuk mempamerkan sikap patriotisme mereka dalam usaha ke arah pembinaan negara bangsa. Katanya lagi, setiap rakyat Malaysia perlu ada rasa hormat kepada perlembagaan dan rukun negara serta mempunyai nilai murni dalam diri dalam merealisasikan konsep Keluarga Malaysia.\nSetiap orang boleh belajar pelbagai bahasa tetapi tidak boleh meminggirkan bahasa Melayu.\nTambah beliau, masyarakat boleh memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi melalui bidang penterjemahan. Drama dan filem tempatan boleh dibawa ke luar negara melalui penterjemahan untuk mengangkat bahasa Melayu pada peringkat dunia. Sementara itu, industri buku pula boleh dipergiatkan lagi dengan menghargai penulis melalui anugerah yang seterusnya dapat mengangkat penulis ke peringkat antarabangsa.\nSelain itu, dari segi pakaian pula, budaya Malaysia boleh diangkat di luar negara dengan memperkenalkan pakaian Malaysia ke luar negara. Begitu juga dalam bidang masakan, contohnya sambil memasak sambil berpantun dan menggunakan nama rempah ratus dalam bahasa Melayu. Selain membawa imej negara ke mata dunia, usaha ini dapat memartabatkan bahasa Melayu di persada dunia.\nBeliau turut bersetuju dengan panel pertama bahawa jati diri bahasa Melayu masyarakat perlu kuat. Masyarakat perlu mempunyai roh cinta akan bahasa Melayu dalam jiwa mereka.\nTambahnya, bahasa Melayu dan kesejahteraan sosial perlu seimbang. Hal ini boleh dilakukan dengan penyatuan badan bukan kerajaan sebagai satu komuniti dengan melaksanakan pelbagai program dan aktiviti untuk memartabatkan bahasa Melayu. Formula terbaik perlu ada dalam membentuk penyatuan dan perpaduan bangsa dengan mencari titik persamaan dalam usaha ke arah memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan seterusnya mengangkat bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.\nAntara tujuan utama forum ini diadakan termasuklah untuk mempersegar kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa kebangsaan di samping mengeratkan dan memperkukuh perpaduan rakyat Malaysia menerusi kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan.\nDBK merupakan kesinambungan pelaksanaan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) yang diperkenalkan pada tahun 1999 bagi menyahut saranan kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu. Maka itu, selaras dengan hasrat menjadikan kegiatan DBK sebagai kegiatan yang mendapat penyertaan yang lebih meluas dan berkesan, DBK dilaksanakan secara bersepadu dengan pelbagai pihak termasuklah kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan. KPM merupakan antara jabatan kerajaan yang aktif melaksanakan kegiatan kebahasaan dan sentiasa terlibat secara langsung dalam pelaksanaan program DBK." "\u201cKekal Kompetitif Melalui Pemikiran di Luar Kotak\u201c \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSimpang Empat \u2013 Raja Muda Perlis,\u00a0 Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa ekosistem cara bekerja dalam organisasi mahupun gaya hidup masyarakat perlu dilonjakkan bagi memastikan rakyat negeri ini terus kekal kompetitif dan berdaya saing melalui pemikiran di luar kotak.\nPemikiran di luar kotak menggunakan kreativiti dalam pemikiran dan melihat cara penyelesaian dari sudut yang berlainan, serta berbeza daripada status quo. Kebolehan untuk berfikir di luar kotak ini merupakan sesuatu yang rumit untuk ditunjukkan. Namun, penguasaan terhadap kebolehan tersebut akan dapat membantu seseorang individu itu memajukan diri dan juga organisasinya.\nPemikiran di luar kotak bertujuan membolehkan kakitangan menggunakan kreativiti atau pendekatan yang unik bagi menyelesaikan sebarang masalah atau isu dalam organisasi. Salah satu caranya ialah dengan mengajukan persoalan yang melibatkan pemikiran di luar kotak seperti bagaimana kerja ini boleh dilakukan dengan cara lain, atau mengapa proses kerja bermula dengan aktiviti A, dan bukan B? Antara contoh lain, soalan seperti bolehkah aktiviti X dan Y digugurkan daripada proses kerja sedia ada, atau bolehkah pelanggan mendapatkan perkhidmatan tanpa hadir ke pejabat juga boleh mengasah pemikiran di luar kotak.\nDemikian titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM16,800 sempena program MAIPs Peduli. Seramai 24 orang asnaf dalam kalangan anak kariah Masjid Dato\u2019 Jaafar Hassan, Sungai Padang, Simpang Empat terpilih untuk menerima sumbangan tersebut yang diagihkan oleh amilnya, Zulkepli Rahim. \nProgram tersebut digabungkan dengan Sambutan Hari Basikal Sedunia yang disambut pada 3 Jun setiap tahun untuk mengiktiraf keunikan, ketahanan dan kebolehan basikal yang telah digunakan selama dua abad ini. Terdapat anggaran lebih dari 2 bilion buah basikal yang digunakan di seluruh dunia. Menjelang tahun 2050, jumlah itu boleh mencecah sehingga 5 bilion. Di Finland sahaja, 60% penduduknya menggunakan basikal dan Belanda pula memegang rekod negara yang mempunyai basikal paling banyak per kapita." "Forum Remaja Menjulang Martabat Remaja sebagai Pewaris Masa Depan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 (PBAKL 2022), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Majalah telah menganjurkan Forum Remaja pada 08 Jun 2022 (Rabu) pukul 12.00 tengah hari hingga 2.00 petang. Forum yang diadakan secara langsung di Reruai DBP, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) boleh ditonton secara dalam talian menerusi platform media sosial DBP seperti Facebook, Twitter dan JendelaDBP.\nForum ini menampilkan dua panel jemputan, iaitu Ts. Dr. Hassan Mohamed, Pensyarah Kanan Institute of Sustainable Energy (ISE), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Chooi Je Qin, penuntut Kolej Tunku Ja\u2019far, Mantin, Negeri Sembilan dan bakal penuntut Universiti Harvard. Manakala Hafez Dolson dari Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) selaku moderator forum.\nMelalui gandingan dua ahli panel dan pengacara muda selaku moderator, tujuan utama forum ini diadakan adalah untuk mengupas tentang kisah kejayaan dua pelajar dari Malaysia yang berjaya menempah tiket pengajian di universiti terkemuka dunia, iaitu Universiti Harvard dan Massachusetts Institute of Technology (MIT) di samping menggalas tanggungjawab membawa nama dan maruah negara dalam arena pendidikan di peringkat antarabangsa.\nForum dimulakan oleh Ts. Dr. Hassan Mohamed yang berkongsi tentang pengalaman hidup beliau sewaktu melanjutkan pelajaran di luar negara untuk menjadi seorang mahasiswa yang berjaya, merangkumi pelbagai kisah suka duka, aspek disiplin diri, ketekunan dan fokus yang tinggi, kecekapan pengurusan masa, pengorbanan tenaga dan masa serta kesabaran menempuh segala ujian yang hadir.\n\u201cPendidikan mampu menyatukan seluruh rakyat Malaysia menjadi sebuah keluarga dengan satu identiti dan jati diri. Melalui pendidikan juga, segala jurang perbezaan dapat diketepikan demi mencapai impian dan matlamat yang sama,\u201d ujar Ts. Dr. Hassan Mohamed.\nTs. Dr. Hassan Mohamed turut menekankan bahawa pendidikan merupakan antara platform terbaik bagi membina dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa. Pendidikan sebagai teras perpaduan negara perlu diamalkan, dihayati, disemai dan dipupuk dalam kehidupan oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira budaya, bangsa dan agama.\nMenurut Chooi Je Qin pula, demi mencapai matlamat, misi dan visi kehidupan, pelajar perlu bersusah-susah dahulu dan bersenang-senang kemudian. Tidak ada kejayaan yang boleh dicapai melalui jalan pintas dan tanpa sebarang pengorbanan. Selain itu, pelajar juga harus berani keluar daripada zon selesa jika mahu mengembangkan dan memperkasakan potensi diri serta mengecapi kejayaan dalam setiap perkara yang diimpikan.\nTambah beliau lagi, pelajar perlu sentiasa muhasabah diri, memotivasikan diri serta menetapkan matlamat dan sasaran kejayaan yang ingin diperoleh. Bahkan pelajar perlu mengorbankan masa lapang bersama-sama keluarga dan rakan-rakan, masa rehat dan perlu melalui fasa kesakitan dan kepenatan demi menjadi pelajar yang berkemahiran tinggi dan berjaya di persada dunia.\nChooi Je Qin turut berikrar untuk menyumbang tenaga dan berbakti kepada tanah air Malaysia setelah menamatkan pengajiannya di Universiti Harvard.\n\u201cCarilah peluang untuk melengkapkan diri dengan pelbagai aspek dan jenis ilmu pengetahuan serta menambah pengalaman diri. Manfaatkan masa sebaik-baiknya dengan melakukan pelbagai aktiviti yang berfaedah supaya dapat menambah dan meningkatkan kemahiran diri, justeru menjadi modal insan yang berkualiti dan berdaya saing untuk pembangunan, pengembangan dan kemajuan negara,\u201d kata Chooi Je Qin.\nTurut hadir memeriahkan majlis adalah Tuan Haji Abdul Halim Haji Harun, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP dan Puan Aninah Janang, Timbalan Ketua Editor Bahagian Majalah DBP." "Keluarga Malaysia yang Ideal Pasak Kukuh Keharmonian Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 \u201cUmpama selembar benang, dikait, ditenun dan dijalin akhirnya menjadi kain yang sempurna indahnya\u201d. Begitulah ungkapan YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia apabila memerihalkan dan memberi bayangan kepada gagasan \u2018Keluarga Malaysia\u2019. Konsep Keluarga Malaysia tersebut dicetuskan oleh beliau pada 22 Ogos 2021 dalam ucapan sulung sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.\n\nSehingga kini, gagasan tersebut sering diutarakan lebih-lebih lagi apabila memperkatakan tentang tindakan dan langkah kerajaan dalam pelbagai aspek (sosial, politik dan ekonomi), khususnya yang melibatkan dasar-dasar kerajaan. Frasa Keluarga Malaysia bersifat inklusif dan merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum. Selain itu, konsep tersebut juga merupakan satu identiti yang saling melengkapi umpama anggota tubuh yang saling memerlukan.\nDalam Keluarga Malaysia, terdapat tiga nilai dan ciri yang merupakan landasan dan \u2018akar\u2019 kepada konsep tersebut. Tiga nilai dan ciri tersebut ialah \u2018keterangkuman\u2019, \u2018kebersamaan\u2019, dan \u2018kesyukuran\u2019. Ketiga-tiganya merupakan \u2018pasak\u2019 kukuh kepada Keluarga Malaysia.\nOleh kerana perlunya penelitian dan penyelidikan yang lebih tuntas dan jelas terhadap konsep ini, maka Majlis Profesor Negara (MPN) telah mengadakan suatu perbincangan meja bulat yang bertemakan \u201cKeluarga Malaysia: Dari Slogan kepada Kerangka Pembangunan Negara\u201d. Program tersebut dimulai dengan ucapan ucaptama oleh YBhg. Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Pengerusi Majlis Profesor Negara.\nUngkapan Keluarga Malaysia dapat dianggap sebagai suatu gagasan untuk mewujudkan suasana kesepaduan dan kebersamaan yang inklusif untuk semua rakyat Malaysia ketika negara sedang berhadapan dengan wabak COVID-19, ketidakstabilan politik dan gugatan masalah ekonomi. Dengan gagasan ini, PM berhasrat supaya kesemua masalah negara perlu ditangani secara bersama dengan menekankan prinsip teras iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. Prinsip-prinsip ini perlu dijulang dengan sokongan sistem nilai nasional yang menekankan integriti, amanah, adil dan bermusyawarah.\nMenurut beliau dalam ucaptama tersebut, beliau mengatakan bahawa dalam konteks politik, konsep Keluarga Malaysia tersebut telah diterjemahkan melalui usaha PM dalam membuat perjanjian kerjasama (MoU) antara pihak kerajaan pimpinannya dengan pihak pembangkang dalam Parlimen Malaysia pada September 2021. Politik Malaysia, khususnya dalam parlimen, mula menjadi tenang dan stabil tanpa mengenepikan prinsip demokrasi dan keluhuran Perlembagaan.\nSelain itu, sebagai seorang ahli sosiologi, beliau juga melihat Keluarga Malaysia ini dalam konteks yang lebih mikro sifatnya dan dekat dengan kehidupan masyarakat. Jika dilihat dan diamati, Keluarga Malaysia merupakan sebuah konsep yang bersifat universal kerana gagasan tersebut meliputi daripada perkara yang besar seperti dasar negara hinggalah melibatkan unit sosial yang paling kecil dan asas, iaitu keluarga.\nDalam kehidupan keluarga terdapat aspek undang-undang, ekonomi, politik, pendidikan, agama, darjat, perubatan, sains dan teknologi, dan sebagainya. Setiap satu kluster kehidupan ini boleh menjadi sumber kekuatan, dan boleh pula menjadi punca persengketaan dan perpecahan. Kepimpinan dalam keluarga ialah tenaga yang menentukan kekuatan atau kelemahan sesuatu keluarga\nOleh itu, terdapat pelbagai dimensi dan spektrum permasalahan dalam sesebuah keluarga. Krisis dan perpecahan dalam keluarga merupakan fenomena yang sentiasa terjadi. Permasalahan dan kelemahan tersebut boleh mencacatkan dan merosakkan serta tidak mustahil boleh menghancurkan sesebuah keluarga yang dibina. Bagi beliau, keluarga yang dianggap sentiasa stabil dan harmoni ialah keluarga jenis ideal. Institusi keluarga yang ideal itu sentiasa wujud dalam kehidupan masyarakat. Ternyata, di balik segala krisis dan perpecahan, masih ada harapan untuk wujudnya sebuah keluarga ideal yang boleh mengukuhkan tiang dan sendi keluarga.\nKeluarga Malaysia yang dipromosikan sekarang merujuk kepada keluarga ideal, iaitu keluarga yang berintegriti, beramanah, adil, dan bermesyuwarah yang menekankan prinsip keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. Perkara yang dipromosikan ialah aspek kehidupan yang positif. Paling penting, keluarga ideal ini mempunyai perasaan kekitaan yang mengutamakan kesepaduan dan kestabilan unit sosial tersebut.\nSelain itu, beliau juga turut mengingatkan bahawa perlunya daya dan kualiti kepimpinan negara yang mantap, utuh dan mampu membawa negara lebih terkehadapan dalam pelbagai aspek. Itulah kunci kepada kejayaan gagasan Keluarga Malaysia. Kepimpinan yang lemah tentu sahaja akan memecahkan dan meretakkan Keluarga Malaysia." "Raja Perlis Perkenan Anugerah Cemerlang dan Kepujian YTSP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar\u00a0\u2013 Raja Perlis,\u00a0DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penganugerahan Anugerah Cemerlang Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis\u00a0kepada Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)\u00a0Tahun 2020 Negeri Perlis\u00a0yang berlangsung di Hotel Putra Regency Kangar, hari ini.\nDYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah menyampaikan Anugerah Cemerlang YTSP kepada Muhammad Ali Azeem Abdul Rahim (9A+) dan Izza Azeera Hashim (6A+ 3A).\nSelain Anugerah Cemerlang YTSP, terdapat sembilan orang penerima bagi Anugerah Kepujian YTSP Perlis yang terdiri daripada Teoh Kar Keat (9A+ 2A), Ong Liyan (8A+ 2A), Yong Zhee Hang (5A+ 5A 1A-), Shazrin Balqis Shamsul Kamal (5A+ 3A 1A-), Nurliyana Amani Zainodin (4A+ 4A 1A-) dan Ahmad Amirul Zharif Ahmad Rahim (4A+ 4A 1A-).\nMenurut YTSP, setiap penerima Anugerah Cemerlang akan menerima sijil, pingat dan wang tunai berjumlah RM1000 bagi setiap seorang\u00a0penerima,\u00a0manakala YTSP berhasrat memberikan sijil dan wang tunai berjumlah RM500 kepada penerima Anugerah Kepujian.\nKeberangkatan DYMM Tuanku Raja Perlis ke majlis itu turut dihadiri oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Pengerusi YTSP Perlis, dan disambut baik oleh\u00a0Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis, Dato\u2019 Johari Mohd Darus." "Gedebe dalam Pok Ya Cong Codei: Memburu Siti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPok Ya Cong Codei: Memburu Siti merupakan sebuah drama bersiri yang sarat dengan kritikan terhadap sikap, nilai dan pemikiran masyarakat. Sesetengah daripada pemerhati memberikan penilaian bahawa drama ini telah mengangkat sosiobudaya atau budaya perlakuan terutamanya dalam kalangan masyarakat Kelantan, sedangkan kisah yang dibawa adalah berbeza, merentas sosial budaya (bukan semata-mata di Kelantan), serta wujud beberapa perkara yang memerlukan tafsiran yang berbeza.\nSetiap tafsiran dan penilaian daripada khalayak ada perbezaannya, dan kelainan itu yang diperlukan bagi menambah nilai sebuah karya yang dianggap bermutu. Namun begitu, bagi sesetengah pihak ada yang mengabsahkan ciri samseng itu diangkat dan ditonjolkan melalui drama tersebut. Sedangkan, karya ini bertujuan untuk menonjolkan sifat kepimpinan yang wajar dimiliki oleh golongan yang mempunyai pengaruh. Setiap tindakan daripada orang yang disanjung itu menjadi pendidikan secara langsung kepada para pengikutnya. Drama ini juga menyajikan naratif watak hitam putih yang disebut juga sebagai \u201corang jahat tapi baik hati\u201d atau peralihan dari sisi gelap kepada sisi yang mulia.\nSesi Forum \u201cKisah di Sebalik Karya Pok Ya Cong Codei: Memburu Siti\u201c pada 8 Jun 2022 bertempat di Balai Budaya, DBP telah menampilkan barisan panel, iaitu Sabri Yunus, Eman Manan, Farid Amirul, Angeline Tan, dan moderatornya A. Wahab Hamzah. Melalui forum ini,\u00a0 Sabri Yunus membahaskan tentang maksud samseng, gedebe dan bekeng, yang ketiga-tiga istilah dialek itu adalah berbeza pengertiannya dalam konteks budaya dan interpretasinya. Melalui drama ini, watak samseng bukanlah fokus penting, tetapi cara dan langkah seseorang itu mampu membentuk para pengikut dan orang sekelilingnya. Hal ini juga menjelaskan seseorang pemimpin itu tidak perlu ditakuti, tetapi gagasan yang dibawa itu membuatkan dirinya dihormati. Samseng membawa pengertian seseorang yang mempunyai sifat jahat atau individu yang suka membuat kejahatan misalnya membuli, merompak dan memukul. Gedebe yang difahami pada masa kini juga telah diberi tafsiran salah terutamanya dalam kalangan orang muda. Barangkali, mereka tidak didedahkan dengan pengertian sebenar menurut kaca mata budaya masyarakat di Pantai Timur.\nJelas beliau, gedebe itu merupakan satu sifat yang dimiliki oleh seseorang yang tahu batas kemanusiaan dan tidak memberikan gambaran pada sifat jahat seseorang tetapi individu yang tahu membezakan tentang sesuatu tindakan sama ada wajar atau tidak wajar. Individu yang memiliki sifat ini juga dikatakan seorang yang mempunyai pengaruh dalam kelompok masyarakat dan sering menjadi rujukan orang ramai untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau kadangkala menjadi tempat rujukan bagi mendapatkan nasihat dan panduan.\nDi sesetengah tempat terutamanya di Kelantan, sifat gedebe pada kebiasaannya dimiliki oleh penghulu dan ketua kampung kerana mereka sering menjadi tumpuan masyarakat yang memerlukan pertolongan untuk menyelesaikan masalah serta berani, tegas dan adil dalam membuat keputusan. Misalnya, isu pergaduhan yang berlaku dalam komuniti dan kelompok dapat diselesaikan dengan cara yang aman dan harmoni. Melalui drama bersiri Pok Ya Cong Codei: Memburu Siti, sifat ini dimiliki oleh watak Pok Ya kerana semua perkara bukan sahaja dapat diselesaikan dengan cara perbincangan, malah beliau dihormati dalam kalangan orang muda dan berusia.\n\nPengertian bekeng pula ialah seorang yang lekas marah, perengus dan berani berdepan dengan situasi bahaya dan mencabar. Seseorang yang mempunyai sifat bekeng juga dikatakan sukar untuk dibawa berbincang, dan inilah yang membezakan dengan individu yang mempunyai sifat gedebe.\nPembahagian sifat samseng, bekeng, gedebe dapat dibahagikan mengikut watak dalam drama tersebut. Samseng ialah watak JJ (Farid Kamil) dan Robert (Farid Amirul) dan Jering (Asrul faizal Kamaruzaman); bekeng ialah Muda Primula (Eman Manan), Saidi Sabri (Halim), Rosit (Issey Fazlisham), Wadi (Yie Arjunasukma); manakala gedebe merujuk kepada watak Pok Ya (Sabri Yunus) dan Mamat Kertuk (Wan Hanafi Su).\nMelalui forum tersebut, turut dikongsikan kepentingan karya sastera sebagai rujukan kepada pemain atau penggiat industri perfileman dan teater. Sesebuah karya yang dihasilkan itu boleh diberikan nilai tambah jika disuntik dengan idea yang terhasil daripada pembacaan karya sastera.\n\u201cSebelum terhasilnya filem atau drama, skrip itu perlu sarat dengan nilai sasteranya. Skrip yang kaku dan tiada nilai estetika tiada gunanya. Begitu juga dengan pengarahnya yang mengarah drama dan filem. Seorang pengarah yang mahukan karyanya dianggap \u201chidup\u201d perlu banyak membaca karya sastera, novel, cerpen atau puisi kerana melalui pembacaan itu, maka terhasilnya idea baharu yang lebih segar. Hal ini turut mencerminkan kelemahan sesuatu drama yang hanya mengambil idea melalui pandangan umum dan tafsiran yang mempunyai makna selapis.\nDalam dunia pengarahan, elemen sastera tidak boleh dipinggirkan. Membikin karya drama atau apa-apa sahaja usah kerana ingin menerapkan elemen hiburan semata-mata, tetapi perlu ada jiwa dan terkandungnya maksud tersirat. Kandungan sastera yang baik juga membantu penulis untuk menghasilkan skrip yang ada wibawa, selain keberkesanan aksi para pelakonnya,\u201d ujar Sabri Yunus.\nMenurut Eman Manan, seharusnya pelakon juga perlu menguasai ilmu kebahasaan dengan baik dan satu daripada kuncinya adalah dengan membaca buku sastera. Hasil bacaan itu dapat meningkatkan kemahiran berbahasa semasa menuturkan dialog, terutamanya untuk pemilihan istilah dan penggunaan kata yang tepat maksudnya.\nSementara itu, Farid Amirul menjelaskan, \u201cUniknya, karya Pok Ya Cong Codei: Memburu Siti ini, Sabri tidak membekalkan skrip sejak awal, tetapi skrip itu ditulisnya di lokasi penggambaran. Pada penilaian saya, Sabri lebih mementingkan penguasaan watak perwatakan dalam babak yang akan dilakonkan, dan dari situlah skrip itu dapat dihayati dengan lebih mendalam\u201d.\nOleh hal yang demikian, situasi ini dapat menjelaskan bahawa betapa pentingnya drama atau filem itu menerapkan nilai ilmu dalam sesebuah karya. Hal ini secara halus mendidik masyarakat untuk berfikir dan menimbulkan minat mereka untuk mengetahui dengan lebih teliti tentang sesuatu tujuan karya itu dihasilkan." "Menyantuni Kanak-Kanak Tabika Perpaduan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 terus dimeriahkan dengan aktiviti bersama-sama kanak-kanak di Reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Hari ini, Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja (BKR) telah mengadakan aktiviti bercerita dan melukis bersama-sama Encik Nor Azhar Ishak atau lebih mesra disapa sebagai Cikgu Nai, yang juga penulis bagi buku yang bertajuk Indahnya\u00a0Pulau Sipadan.\nAktiviti yang melibatkan pencerita yang juga seorang pelukis ini dilaksanakan dalam suasana santai dengan kehadiran kanak-kanak dari Tabika Perpaduan Pangsapuri Fasa 3 Bandar Baru Sentul A, Tabika Perpaduan Pangsapuri Fasa 3 Bandar Baru Sentul B dan pengunjung PBAKL 2022. Dalam aktiviti ini, mereka diberikan kesempatan untuk mengasah bakat menyampaikan cerita Indahnya\u00a0Pulau Sipadan\u00a0di hadapan khalayak.\nSelesai aktiviti bercerita, para peserta diberikan peluang untuk mengasah bakat melukis contoh watak hidupan laut yang diberikan oleh Cikgu Nai. Dengan menggunakan peralatan yang disediakan oleh Cikgu Nai, kanak-kanak tampak gembira menghasilkan karya lukisan masing-masing di bawah bimbingan beliau.\nSelain itu, slot pertandingan mewarna turut diadakan pada sesi akhir aktiviti. Sebanyak 29 orang kanak-kanak yang menyertai pertandingan tersebut telah membawa pulang hadiah berupa buku bergambar terbitan DBP dan hadiah istimewa daripada Cikgu Nai yang disampaikan oleh beliau, diiringi Ketua Editor BKR, Puan Mariati Josepha Mustafa." "Lapan EXCO ADUN Perlis Angkat Sumpah di Hadapan Raja Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis hadir mengangkat sumpah sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) negeri, hari ini.\nUpacara mengangkat sumpah yang berlangsung di Balai Menghadap Istana Arau diadakan di hadapan Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.\nSebanyak lapan ADUN yang tersenarai dilantik sebagai EXCO ialah Asmaiza Ahmad (Chuping), Hamizan Hassan (Kayang), Azizan Sulaiman (Santan), Ruzaini Rais (Beseri), Nurulhisham Yaakob (Simpang Empat), Rozieana Ahmad (Pauh), Siti Berenee Yahaya (Mata Ayer) dan Teh Chai Aan (Titi Tinggi).\nTurut berangkat dalam majlis ucapara mengangkat sumpah ini ialah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail." "Penerbitan Buku Negara Bangsa Malaysia: Ke Arah Kemakmuran Bersama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0Kuala Lumpur \u2013 Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 merupakan iltizam untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan. Erti kesyukuran, keamanan dan kesejahteraan perlu dipasak dalam jiwa anak-anak Keluarga Malaysia.\nProjek penerbitan buku sulung Institut Masa Depan Malaysia (MASA) yang berjudul Negara Bangsa Malaysia: Ke Arah Kemakmuran Bersama bakal diterbitkan selepas tertangguh akibat pandemik COVID-19.\u00a0 Sehubungan dengan itu, pihak Institut MASA mengadakan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Penasihat Projek Penerbitan Buku Negara Bangsa Malaysia: Ke Arah Kemakmuran Bersama. Buku ini bakal menjadi panduan kepada segenap masyarakat berhubung dengan konsep meraikan kepelbagaian bangsa serta budaya sebagai asas penyatuan negara bangsa.\nMesyuarat Ahli Jawatankuasa Penasihat Projek Penerbitan Buku yang diadakan di Kuala Lumpur pada 10 Jun 2022, telah dipengerusikan oleh Tan Sri Dato\u2019 Seri Dr. Sulaiman Mahbob, selaku Ahli Lembaga Pengarah Institut Masa Depan Malaysia (MASA). Turut hadir, barisan penasihat projek penerbitan buku yang dilantik, iaitu Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pengarah Institut Alam dan Tamadun (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Emeritus Dato\u2019 Dr. Teo Kok Seong, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), UKM, Prof. Dr. Mansor Mohd Noor, Profesor Kehormat KITA, UKM dan Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Felo Majlis Profesor Negara (MPN).\nObjektif projek ini adalah untuk menerangkan dan menilai prinsip panduan dan pendekatan yang diwujudkan oleh kerajaan Malaysia dalam membina identiti kebangsaan yang bersifat kolektif.\u00a0 Selain itu, projek ini juga bertujuan untuk meneroka faktor asas pembangunan negara bangsa di Malaysia berdasarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2020 (WKB) 2030. Oleh yang demikian, konsep negara bangsa di Malaysia berdasarkan latar belakang sejarah, budaya, sosioekonomi, masyarakat dan geografi haruslah difahami.\nMenurut Tan Sri Dato\u2019 Seri Dr. Sulaiman Mahbob, kepakaran penulis dipilih daripada kalangan pelbagai bangsa dan agama bagi menyumbang idea untuk buku ini berdasarkan kepakaran dan pengalaman. Bangsa Malaysia yang bersatu padu dengan melihat prospek pelbagai pakar bidang dalam membantu pembuat dasar kerajaan menunjukkan bangsa Malaysia yang bersatu-padu. Isu semasa di Sabah dan Sarawak sebagai wilayah perlu diangkat sama sebagai matlamat utama Wawasan Kemakmuran Bersama untuk menyediakan taraf hidup yang sewajarnya kepada semua rakyat Malaysia menjelang tahun 2030.\nProf. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan turut menyatakan bahawa asas-asas ketimuran dalam kalangan warganegara Malaysia, iaitu Melayu, Cina dan India dan lain-lain etnik Sabah dan Sarawak perlu ditonjolkan. Tamadun Melayu dan tamadun Cina seperti penemuan pantun, lagu rakyat dan pemikiran dilihat banyak mempunyai persamaan. Nilai-nilai murni ini perlu ditonjolkan dengan asas-asas sedia ada.\nBengkel seterusnya akan diadakan secara berkala mengikut pengagihan bahagian yang telah dipersetujui oleh barisan penasihat projek penerbitan. Terdapat bahagian dalam buku ini yang akan mengetengahkan pembangunan modal insan dalam kalangan belia dan melihat corak pemikiran mereka serta pelibatan golongan ini dalam aktiviti kemasyarakatan seperti institusi berasaskan komuniti dan persatuan kejiranan yang dapat meningkatkan tahap kepercayaan dan keyakinan dalam institusi masyarakat dan negara.\nDalam menyelami semangat Keluarga Malaysia, penerbitan buku ini selari dengan objektif dan aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang memerlukan semua pihak berganding bahu dan berusaha lebih gigih dalam memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati bersama." "Kelangsungan dan Kestabilan Rantaian Agromakanan Harus Dijaga \u2013 Raja Puan Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau\u00a0\u2013\u00a0\u201cEkosistem makanan kini amat dinamik dan sering terdedah kepada perubahan landskap\u00a0politik, ekonomi dan sosial.\u00a0Usaha\u00a0menjaga\u00a0kelangsungan dan kestabilan rantaian agromakanan\u00a0perlu mendapat sokongan daripada semua pihak,\u00a0termasuklah sektor awam dan swasta, serta mereka yang berkepentingan tanpa mengira latar belakang pendidikan, ekonomi, sosial dan juga jantina.\u201d\nTitah Raja Puan Muda Perlis, DYTM\u00a0Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil\u00a0selepas berkenan menyempurnakan sesi menandatangani surat penghargaan kepada jawatankuasa penganjuran program Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) Siri ke-9\u00a0yang bertajuk \u201cAgropreneur Wanita: Saksama Bersama Menjamin Sekuriti Makanan Negara\u201d, berlangsung secara dalam talian, anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan YTF.\nMenurut Tuanku Raja Puan Muda\u00a0Perlis, pelibatan golongan wanita dalam bidang pertanian kini tidak asing asing, malah berjaya membuktikan bahawa\u00a0\u00a0mereka juga berkemampuan untuk menerajui bidang yang lebih sinonim dengan golongan lelaki ini.\nSelain itu, pelbagai pencapaian telah disaksikan bahawa golongan wanita ini membantu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat, lantas menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara. Hal ini dikatakan demikian sangat\u00a0bertepatan dengan slogan MAFI,\u00a0iaitu \u201cPertanian Menjana Ekonomi\u201d\u00a0dan\u00a0\u201cMemartabatkan Sekuriti Makanan Negara\u201d.\nDYTM Tuanku Raja Puan Muda\u00a0Perlis\u00a0yang merangkap Tuanku Pengerusi YTF merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih khas kepada Ketua Setiausaha MAFI, Dato\u2019 Haslina Abdul Hamid atas pelibatan dan komitmen yang tinggi serta warga MAFI dan penceramah undangan dalam menjayakan program webinar ini, yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Raja Muda Perlis, DYTM\u00a0Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail." "Sekolahku SEJAHTERA: Penerapan Nilai Terbaik untuk Murid\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nApabila konsep Sekolahku SEJAHTERA dilancarkan pada 21 Februari 2022, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), banyak pihak meletakkan harapan yang tinggi terhadap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang amat komited dalam melahirkan generasi muda yang hebat serta mampu bersaing pada peringkat dunia.\nHal ini turut dilihat berdasarkan cabaran pada masa kini yang amat memerlukan suatu pendekatan holistik yang perlu ditekankan agar diberikan perhatian dalam sistem pendidikan negara. Pendekatan tersebut diharapkan dapat membentuk murid yang bijak mengharungi cabaran global yang tidak hanya menjurus kepada kemajuan sains dan teknologi yang banyak mengubah cara hidup dan budaya kita, tetapi cabaran ekonomi dan kesihatan yang memaksa kita untuk tidak lagi berada di belakang tetapi sentiasa bersedia dengan sebarang cabaran dan kemungkinan yang mendatang.\nMenteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, ketika berucap merasmikan konsep Sekolahku SEJAHTERA berkata bahawa konsep yang diperkenalkan kementeriannya itu boleh dicapai melalui penjiwaan terhadap 14 elemen penting yang diberikan penekanan dalam Sekolahku SEJAHTERA. Walau bagaimanapun, menurutnya, 14 elemen penting dalam konsep berkenaan tidak bermaksud mengetepikan elemen lain dalam kehidupan.\n\u201cPenekanan konsep ini untuk memastikan anak kita yang lahir daripada sistem pendidikan negara dapat bersaing dan mampu berdaya saing pada peringkat dunia,\u201c ujarnya.\nEmpat belas elemen penting berkenaan adalah selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi. Kesemua elemen ini adalah berteraskan nilai murni yang ada dalam kehidupan harian warga sekolah khususnya murid. Secara asasnya, kesemua elemen tersebut sudah lama diperkenalkan di sekolah, namun pengenalan konsep Sekolahku \u00a0SEJAHTERA ini bertujuan untuk mengangkat 14 elemen tersebut secara lebih terperinci, bersasar dan berterusan agar sentiasa diterapkan, dihayati serta diamalkan sehingga menjadi budaya bagi seluruh warga sekolah.\nUntuk memahami tentang konsep ini, kita perlu melihat tiga elemen pertama dalam konsep Sekolahku SEJAHTERA, iaitu Selamat, Seronok dan Sihat. Umum mengetahui bahawa sejak sekian lama, KPM sentiasa berusaha memastikan sekolah menjadi tempat yang paling selamat untuk murid sepanjang keberadaan mereka di sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila murid berasa selamat mereka pastilah akan berasa seronok dan daripada keseronokan tersebutlah akan melahirkan murid yang sihat.\nApabila Pandemik COVID-19 melanda dunia, termasuk Malaysia, KPM memutuskan untuk menutup sekolah tanpa memberhentikan pengajaran dan pembelajaran (PdP). Proses itu diteruskan dengan pelbagai kaedah secara dalam talian yang banyak membantu murid untuk tidak tercicir dalam pendidikan. Demi memastikan keselamatan murid sentiasa terjamin, KPM mencari jalan yang terbaik untuk membawa kembali murid ke sekolah, namun ternyata tindakan tersebut tidak diambil secara tergesa-gesa. KPM menerusi Menteri Kanan Pendidikan menjelajah ke negeri-negeri untuk berbincang dengan pelbagai pihak yang terlibat; mendapatkan nasihat dengan merentas kementerian, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Malaysia (MKN), sebelum memutuskan untuk membuka sekolah untuk PdP secara bersemuka. Usaha keras KPM ini tidak lain tidak adalah untuk memastikan sekolah tetap menjadi tempat yang selamat, seronok dan melahirkan murid yang sihat.\nKemudian, sekolah menjadi tempat yang akan membentuk etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi. Semua nilai ini tidak akan mampu digarap tanpa peranan penting warga sekolah, khususnya guru. Bagaimanakah untuk membentuk etika? Prinsip moral tersebut, iaitu nilai akhlak yang menjadi pegangan murid dibentuk dalam proses pembelajaran yang berterusan. Misalnya, guru memberikan tugasan kepada murid dan tugasan tersebut perlu disiapkan dalam tempoh tertentu. Maka itu, murid perlu mematuhi dan berusaha untuk menyiapkan tugasan tersebut kerana murid akur bahawa setiap tugasan yang diberikan oleh guru wajib disiapkan. Hal ini berbeza daripada jika ibu bapa yang memberikan latihan kepada anak mereka. Mungkin mereka akan menyiapkannya tetapi mungkin tanpa mematuhi masa yang ditetapkan, berlengah atau tidak menyiapkannya kerana sudah tertanam pada minda mereka bahawa ibu bukanlah guru seperti guru mereka di sekolah. Hal yang demikian juga akan \u2013 menerusi Sekolahku SEJAHTERA akan membentuk jati diri, adab sopan, dan sebagainya. Bagaimana seseorang murid dapat membentuk jati diri, sayang akan keluarga, rakan-rakan, bangsa dan negara jika tidak ada tunjuk ajar daripada guru dan melalui persekitaran yang membolehkan mereka memahami pertautan tindakan mereka dengan pembentukan jati diri dalam kehidupan mereka? Bagaimana pula sikap adab dan sopan dalam kalangan rakan pelbagai kaum dapat diperkukuh? Semuanya bermula di sekolah apabila guru menerapkan PdP yang bersangkutan dengan elemen ini.\nPada hakikatnya, wujud perbezaan tingkah laku antara kanak-kanak yang bersekolah dengan mereka yang tidak bersekolah. \u00a0Pernahkah kita bertemu dengan kanak-kanak jalanan yang tidak bersekolah? Bagaimanakah tingkah laku mereka? Pada kebiasaannya, mereka mendekati kita tanpa bersuara dan hanya menadah tangan untuk meminta sesuatu daripada kita. Bukanlah sesuatu yang pelik jika kita tidak memberikan apa-apa yang mereka mahukan, mereka akan menunjukkan reaksi kurang sopan, malah ada yang berani mengeluarkan kata-kata kesat. Pernahkah kita terfikir mengapakah hal ini berlaku? Sudah pasti kerana mereka tidak mendapat pendidikan formal di sekolah dan segala elemen yang dibincangkan di atas tidak tertanam dalam diri mereka.\nLebih penting lagi, kanak-kanak yang tidak dihantar ke sekolah sudah pasti tidak pernah mendengar atau mengetahui akan lima prinsip Rukun Negara yang sering dilafazkan ketika berada di sekolah. Prinsip ini merupakan janji kita kepada negara, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-undang; Kesopanan dan Kesusilaan. Setiap prinsip yang kita lafazkan ini merupakan panduan terpenting kita sebagai warganegara Malaysia.\nMaka itu, apabila Menteri Kanan Pendidikan mengumumkan akan memperkasakan konsep Sekolahku SEJAHTERA, banyak pihak yang menyahutnya dengan sokongan dan dukungan. Meskipun konsep ini bukanlah satu mata pelajaran baharu atau sisipan mata pelajaran yang sedia ada, malah konsep ini tidak akan menambah beban tugas guru termasuk pelaporan tentang pelaksanaannya, namun konsep ini dijangka akan memandu guru untuk melahirkan insan cemerlang untuk bangsa dan negara.\nApa-apa yang penting kelak adalah untuk guru serta masyarakat bersama-sama menerapkan konsep ini dalam diri generasi pewaris negara supaya nilai murni tersebut sentiasa tersemat di hati mereka meskipun murid akan meninggalkan sekolah pada suatu hari nanti.\nSebagai kesimpulannya, elemen SEJAHTERA perlu sentiasa diterap, dihayati serta diamalkan sehingga menjadi budaya bagi seluruh warga sekolah. Dengan ini, kita akan dapat melahirkan generasi masa depan yang berkeperibadian unggul dan mampu bersaing di peringkat dunia, serta yang tidak pernah lupa akan akar dan jati diri." "Menyerlahkan Bakat Warga KPM dalam Pertandingan Lagu Puisi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Pada 4 Ogos 2022, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Majalah, Jabatan Penerbitan DBP menganjurkan Pertandingan Lagu Puisi bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2022. Pertandingan Lagu Puisi yang berlangsung di Dewan Serbaguna, KPM disertai oleh sembilan orang peserta yang terdiri daripada warga KPM.\nPenganjuran Pertandingan Lagu Puisi pada kali ini bertepatan dengan satu daripada objektif DBK 2022, iaitu melahirkan rakyat Malaysia yang berbangga akan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar ilmu dan pembina tamadun dan jati diri bangsa. Hal ini turut diakui oleh Tuan Haji Rozman Shafie atau lebih dikenali sebagai LY, seorang komposer dan penulis lirik tersohor tanah air yang bertindak sebagai Ketua Juri Pertandingan Lagu Puisi pada kali ini.\nBeliau mengatakan bahawa lagu puisi memainkan peranan yang sangat penting kepada negara kerana bait-bait puisi berupaya memberikan kesedaran kepada kita sebagai rakyat Malaysia, dan secara tidak langsung dapat melahirkan perasaan cinta akan negara.\nYang menariknya, Pertandingan Lagu Puisi ini julung-julung kali diadakan di KPM dengan tujuan untuk membina bakat penyampaian puisi dalam kalangan warga KPM. Hal ini sekali gus dapat membentuk pemahaman bahasa yang betul dan mengayakan kosa kata khususnya dalam karya puisi.\nMenerusi pertandingan ini, juri yang terdiri daripada LY, Baiduri atau nama sebenarnya Puan Hajah Norkhayati Haji Mohd Hashim dan Dr. Azerai Azmi telah memilih enam orang pemenang. Tempat pertama dimenangi oleh Puan Ratna Sariayu Osman dari Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, KPM dengan nyanyian lagu Penantian yang disampaikan dengan baik dan penuh penghayatan.\nSementara itu, Encik Mohd Harith Mohd [email\u00a0protected] Noor dari Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM memenangi tempat kedua dengan mempersembahkan lagu Permata Buat Isteri yang dipopularkan oleh kumpulan Kopratasa. Tempat ketiga pula dimenangi oleh staf dari Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM yang diwakili oleh Encik Tajul Effendy Hassan, Puan Nurbaity Ahmad dan Puan Saripah Faridah Syed Khalid yang menghiburkan hadirin dengan lagu Berita kepada Kawan.\nTempat keempat dimenangi oleh Encik Ahmad Fadhli Abdul Mujib dari Bahagian Matrikulasi, KPM menerusi lagu Pertama Buat Isteri. Encik Moh Nazir Mohd Ghazali dari Bahagian Profesionalisme Guru, KPM pula memenangi tempat kelima melalui lagu Suatu Masa, manakala Yang Berbahagia Datin Nik Shareeza Roslyn Mohd Rosli dari Bahagian Sukan Kokurikulum dan Kesenian, KPM yang mempersembahkan lagu Doa mendapat tempat keenam. Setiap pemenang menerima wang tunai dan hadiah iringan daripada DBP dan KPM.\nKesemua peserta menerima cenderamata daripada DBP yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Latip Muhammad, Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, KPM. Program Pertandingan Lagu Puisi ini turut dihadiri oleh Encik Aznan Mad Natar, Ketua Penolong Pengarah Unit Penggalakan Kokurikulum dan Seni, KPM dan Puan Ritah Yahaya, Editor Kanan Bahagian Majalah, DBP yang mewakili Ketua Editor Bahagian Majalah, DBP." "Sebanyak 110 Peserta Sertai Piala Pengarah JKR Negeri Perlis 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar\u00a0\u2013 Sebanyak 110 orang peserta menyertai pertandingan golf Piala Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perlis 2022 yang dianjurkan oleh Kelab Sukan dan Kebajikan JKR Negeri Perlis di Kelab Golf Putra (KGP) Perlis, Sungai Batu Pahat pada 11 dan 12 Jun 2022.\nJohan bagi Kategori Medal A dalam pertandingan ini ialah Khairyzameel Ahmad, berjaya mengumpul sejumlah 40 mata, diikuti dengan naib johan, Mohd.\u00a0Shahril Musa dengan 39 mata.\nSementara itu, dalam Kategori Medal B, Azwan Nayan muncul sebagai juara dengan jumlah skor 37 mata, manakala Mohd.\u00a0Zulhelme Mohd.\u00a0Noor pula dengan skor 37 mata keluar sebagai naib juara.\nRaja Muda Perlis, DYTM\u00a0Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, merangkap Tuanku Presiden KGP berkenan berangkat untuk menganugerahkan hadiah utama kepada pemenang semalam.\nTurut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah\u00a0JKR\u00a0Negeri, Ir. Mohd.\u00a0Shahril Mohd.\u00a0Said dan ketua-ketua bahagian dalam jabatan berkenaan.\nMenurut Mohd.\u00a0Shahril, pertandingan ini melibatkan pemain tempatan dan jemputan dari luar Perlis berikutan dengan hasrat untuk memajukan lagi sektor sukan dan pelancongan negeri Perlis.\nPada masa yang sama, usaha ini dilaksanakan demi membantu dalam menjana ekonomi negeri khususnya rakyat negeri Perlis dalam bidang penjualan makanan, pembuatan serta rumah inap, tambah beliau lagi." "Naib Canselor UniMAP Terima Anugerah Darjah Setia Mahkota Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nArau \u2013 Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Leftenan Kolonel Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli menerima anugerah Darjah Setia Mahkota Perlis (S.S.P.) bersempena dengan Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perlis Kali Ketiga bagi tahun ini oleh Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.\nIstiadat ini juga dilangsungkan bersempena dengan Sambutan Hari Ulang Tahun baginda yang ke-79 pada 17 Mei 2022 yang lalu di Balairung Seri Istana Arau pada pagi tadi.\nRaja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid bersama-sama Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan berangkat sama dalam majlis istiadat tersebut.\nLeftenan Kolonel Prof. Ts. Dr. Zaliman mengetuai sejumlah 70 orang penerima anugerah masing-masing pada sesi hari ini. Pada masa yang sama, penganugerahan kepada Naib Canselor\u00a0UniMAP\u00a0itu bersamaan\u00a0dengan kejayaan UniMAP baru-baru ini yang telah berjaya diiktiraf oleh sistem pemeringkatan Times Higher Education (THE) bermula tiga tahun yang lalu.\nPengiktirafan THE adalah berdasarkan lima kriteria utama yang merangkumi Pengajaran, Penyelidikan, Pemetikan, Pendapatan daripada Industri, dan Pengantarabangsaan, melalui tiga penilaian, iaitu THE World University Rankings, THE Asia University Rankings, dan THE Impact Rankings." "Program SULAM: Kesedaran Keselamatan Jalan Raya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nProgram Kesedaran Keselamatan Jalan Raya telah diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Klang pada 13 hingga 24 Jun 2022, anjuran Kolej Pengajian Kejuruteraan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Malaysia Institute of Transport (MITRANS) dengan kerjasama The Chartered Institute of Logistics and Transport, 3M, Mcdonalds, Gadis Gadget dan USU Gadget.\nBertemakan \u201cKeselamatan Jalan Raya Tanggungjawab Bersama\u201d, Program Service Learning Malaysia University for Society (SULAM) telah menggabungkan objektif pembelajaran kursus dengan khidmat komuniti yang melibatkan pelajar institut pengajian tinggi (IPT). SK Klang dijadikan sebagai komuniti pilihan bagi kumpulan pelajar pengajian kejuruteraan awam UTM.\nTujuan program ini merupakan satu daripada inisiatif untuk memberikan kefahaman tentang kepentingan keselamatan jalan raya, di samping memupuk kesedaran keselamatan jalan raya kepada warga SK Klang amnya dan kepada pelajar. Dengan adanya program ini, hal ini dapat meningkatkan tahap kesedaran mengenai keselamatan jalan raya dan membantu komuniti di SK Klang dalam meningkatkan fasiliti di kawasan sekolah terutamannya bagi murid kurang upaya.\nKaedah pengajaran dan pembelajaran yang menggabungkan objektif pembelajaran kursus dengan khidmat komuniti yang melibatkan pelajar berinteraksi dengan komuniti bagi menyelesaikan permasalahan setempat dengan menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang mereka pelajari di bilik kuliah. Kaedah ini mempunyai nilai kredit dan jam pelaksanaan khidmat komuniti itu dikira dalam pengiraan jumlah jam pelajar belajar bagi kursus yang berkaitan. Asas pelaksanaan aktiviti SULAM dalam komuniti adalah Kasih Sayang, Kebahagian dan Saling Menghormati.\nMajlis perasmian pelancaran telah disempurnakan oleh Rozana Adam,\u00a0 Guru besar SK Klang dan wakil UiTM disertai oleh Pertandingan \u201cTikTok Keselamatan Jalan raya\u201d. Program lain seperti\u00a0 pemantauan keselamatan jalan raya \u00a0(RSI), konflik jumlah trafik, had kelajuan, kemudahan dan papan tanda jalan. Menaik taraf laluan pejalan kaki Orang Kurang Upaya (ketidakupayaan pelihatan) dan \u00a0memasang pita tanda turapan di laluan pejalan kaki orang kurang upaya. Penyampaian hadiah kepada para pemenang Pertandingan TikTok Keselamatan jalan raya dijadikan sebagai acara penutupan program." "Kejohanan Go-Kart Malaysia 2022: Malaysia Muncul Juara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Putera Adam dari Malaysia muncul sebagai juara dalam Kejohanan Go-Kart Malaysia 2022 atau Malaysia Karting Championship 2022 dalam pusingan keempat bagi kategori Senior, iaitu 18 hingga 35 tahun di Litar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra pada 11 dan 12 Jun 2022.\nPemenang tempat kedua dan ketiga yang melibatkan 14 orang pesaing dalam acara itu turut dimenangi oleh pelumba Malaysia, iaitu Mohamad Hayden Haikal dan Akash Neil Nandy.\nMohd. Jasa dari Malaysia dan Chanoknan Veeratacha dari Thailand pula muncul sebagai juara dalam kejohanan yang sama. Masing-masing dalam kategori Master Senior, iaitu 35 tahun dan ke atas dan kategori Junior, iaitu 13 hingga 17 tahun.\nKejohanan kali ini turut melibatkan sesi Uji Cuba Litar, Time Trial bagi semua kategori, Saringan Perlumbaan, Pre-final dan juga Final.\nTurut berkenan berangkat dalam acara kejohanan ini ialah anakanda bongsu Raja Muda Perlis, YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Ibni Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bagi menyaksikan pertandingan akhir yang juga disertai para peserta antarabangsa dari Singapura, Thailand, Indonesia dan India.\nSelain itu, Malaysia Karting Championship 2022 dalam pusing kelima yang akan datang bakal diadakan pada 2 dan 3 Julai 2022 di Litar Antarabangsa Sepang.\nSebarang maklumat lanjut berkenaan acara tersebut boleh didapati melalui pautan, https://www.malaysiakartingchampionship.com/." "Persatuan Wartawan Perlis dan Persatuan Media Selatan Thailand Jalin Kerjasama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPadang Besar \u2013 Persatuan Wartawan Perlis (PWP) dan Persatuan Media Selatan Thailand menandatangani nota persefahaman dalam usaha membina kerjasama membabitkan kedua-dua wakil media dan seterusnya melakar sejarah tersendiri.\n\u201cKerjasama dua hala itu adalah titik permulaan bagi mengeratkan lagi hubungan pengamal media dari kedua-dua negara dari segi pertukaran budaya dan kepakaran dalam bidang kewartawanan,\u201d kata Presiden PWP, Mohammad Asri Shafii selepas majlis menandatangani nota persefahaman antara wakil kedua-dua media.\nPerjanjian itu ditandatangani oleh Mohammad Asri Shafii dan wakil Persatuan Media Selatan Thailand, Phiphob dengan majlis disaksikan oleh DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta puteri baginda berdua, YTM Sharifah Farah Adriana Jamalullail.\nTerdahulu DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyertai Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 Peringkat Negeri Perlis dan turut disertai oleh ketua-ketua dan wakil agensi kerajaan di negeri Perlis.\nKetua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, aktiviti yang dianjurkan dengan kerjasama PWP tersebut adalah bagi meraikan pengamal media di negeri ini di samping memberi sumbangan kepada asnaf yang memerlukan.\nTambah beliau lagi, MAIPs mendapat mandat daripada sebahagian penyumbang yang berhasrat untuk menderma agar dapat berkongsi rezeki bersama dengan sahabat dari Selatan Thailand." "Penyebar Khabar Angin, Pensabotaj Ekonomi Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam sesebuah negara, terdapat segelintir rakyat yang berhaluan kiri dan enggan menerima hakikat bahawa mereka merupakan warganegara yang berada dalam sebuah negara serba stabil dan makmur, lantas mendakwa negara terdedah kepada kebankrapan. Hal ini tersebar luas semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada tahun 2018 dan dijadikan antara bahan kempen oleh golongan yang tidak memikirkan kesan sampingan terhadap apa-apa yang disebarkan. Melalui laman sosial dan aplikasi Whatsapp, tersebar khabar angin kononnya negara akan bankrap pada September tahun tersebut, tetapi terbukti perkara tersebut tidak berlaku dan hanyalah suatu tanggapan, dakyah, tohmahan, jangkaan, andaian, firasat dan provokasi yang tidak sihat.\nMemandangkan khabar angin sebegitu boleh memberikan impak negatif terhadap negara, Perdana Menteri pada ketika itu, Dato\u2019 Sri Najib Tun Abdul Razak yang juga Menteri Kewangan meminta rakyat supaya jangan mudah percaya dengan khabar angin yang mendakwa negara akan bankrap disebabkan kemerosotan ekonomi yang berpunca daripada faktor politik. Melalui akaun laman sosialnya www.najibrazak.com, beliau menegaskan hakikat bahawa ekonomi negara berkembang pada kadar lebih empat peratus pada separuh pertama tahun tersebut dan tidak tersungkur ke tahap negatif seperti yang berlaku pada tahun 1997 apabila negara mengalami krisis ekonomi yang dahsyat. Pada waktu itu, banyak perniagaan yang terpaksa gulung tikar dan ramai orang kehilangan pekerjaan.\nPada tahun 2016, Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan lebih baik pada tahun 2017 dan 2018, serta dijangka meningkat melebihi empat peratus sebagaimana yang disasarkan pada tahun 2016. Pertumbuhan tersebut didorong oleh pemulihan harga minyak dan sektor pengeksportan yang kembali rancak. Memetik kenyataan Ketua Ekonomi Bank Dunia bagi Asia Timur dan Pasifik, Sudhir Sheryy yang disiarkan oleh akhbar tempatan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDK) Malaysia diunjurkan perlahan, iaitu 4.2 peratus berbanding dengan sasaran awal 4.4 peratus yang diramalkan pada April 2016.\nSelain daripada faktor minyak dan eksport perkilangan yang terjejas disebabkan permintaan global yang lemah, jelas Sudhir Sherry, perbelanjaan sektor awam dan swasta juga dilihat perlahan. Pada pendapat penulis, perbelanjaan sektor awam dan swasta diperlahankan kerana negara mengamalkan perbelanjaan berhemah pada ketika itu. Mengikut Ketua Ekonomi Bank Dunia bagi Asia Timur dan Pasifik itu, secara keseluruhannya pertumbuhan ekonomi negara-negara membangun di Asia Timur dan Asia Pasifik termasuklah Malaysia dijangka kekal berdaya tahan dalam tempoh tiga tahun akan datang.\nSehubungan dengan itu, khabar angin tentang kebankrapan negara yang telah disebar luas tidak diketahui motifnya. Apakah tujuan sebenar penyebar khabar angin tersebut? Adakah mereka mendapat laba dariapda perbuatan tersebut? Namun, yang pastinya golongan ini cuba mensabotaj ekonomi negara, apabila didapati impaknya selepas itu begitu buruk terhadap negara dan terdapat rakyat dan para pelabur turut mempercayai khabar angin berunsur provokasi yang disebarkan itu.\nPada masa yang sama, selepas PRU-14, ekonomi negara agak parah tetapi disabitkan dengan angkara COVID-19 sebagai penyebab utamanya. Tidak semua rakyat boleh menerima COVID-19 sebagai suatu kemalangan, sebaliknya apa-apa yang berlaku terhadap rakyat dilihat sebagai ketidakstabilan politik kerajaan baharu yang menyamai kualiti kerajaan sebelum itu. Keadaan semasa kini merupakan hakikat dan natijah yang perlu diterima walaupun ada sesetengah pihak yang tidak dapat menerima hakikat tersebut.\nPihak berkuasa sebelum PRU-14 sewajarnya mengambil tindakan tegas terhadap penyebar khabar angin yang pada hakikatnya berniat tidak baik dan lebih merbahaya daripada anasir subversif kerana apa-apa yang dilakukan adalah bersifat mengkhianati negara dan seluruh warganegara. Penulis bersetuju dengan kenyataan\u00a0 Dato\u2019 Sri Najib (ketika beliau masih menduduki kerusi Perdana Menteri) bahawa hal ehwal ekonomi negara, bahkan ekonomi dunia sekali pun mempunyai kitaran naik turunnya dan perkara ini adalah normal sebagaimana kita manusia yang ada kalanya melalui situasi sihat dan sakit. Yang pasti, kerajaan yang memerintah tentulah sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi segala kemungkinan. Sehubungan dengan itu, negara memerlukan barisan kepimpinan yang berkemampuan dan bijaksana dalam melihat masa depan negara dan perkembangan dunia, terutamanya dari sudut ekonomi.\nMemetik kata beliau, krisis kewangan negara pada tahun 1997 berlaku kerana dunia juga menghadapi masalah yang sama dan Malaysia sebagai sebahagian daripada dunia, turut sama menerima tempias dan kesannya, tetapi perkara tersebut tidak pula menyebabkan negara bankrap.\nSetelah ekonomi negara kembali pulih 10 tahun kemudian, dunia kembali diasak krisis ekonomi dan Malaysia juga tidak terlepas daripada menerima tempias yang telah mengakibatkan ekonomi negara menyusut sebagaimana yang dialami oleh negara-negara lain. Hal ini merupakan sesuatu yang tidak boleh dielakkan, namun kita perlu menghadapinya secara bijaksana supaya rakyat tidak terlalu merasa bahangnya. Sebagai tokoh yang berpengalaman sebagai Menteri Kewangan ketika negara menghadapi krisis ekonomi , Dato\u2019 Sri Najib pastinya mempunyai formula yang boleh dirumuskan berdasarkan pengalamannya bagi memastikan ekonomi negara mampu bertahan dan mengalami pertumbuhan.\nSebagai rakyat, kita perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam usaha membantu kerajaan, contohnya dalam bentuk sokongan moral dan doa, bukannya mengambil bahagian dengan mensabotaj ekonomi negara melalui khabar angin dan tindakan provokasi yang boleh menyulitkan lagi keadaan. Banyak masa akan terbuang dalam merungkai kekusutan untuk menangkis khabar angin dan fitnah yang disebarkan itu.\nApabila para pelabur mempercayai khabar angin yang tersebar, pelabur baharu pastinya hilang minat untuk melabur dan negara-negara pengimport pula menghentikan\u00a0 pengimportan, manakala pelabur sedia ada pasti akan menarik balik pelaburan mereka. Sekiranya negara benar-benar bankrap, padah dan petakanya bukan sahaja menimpa rakyat, malah akan turut menimpa penyebar fitnah itu sendiri. Oleh sebab itu, khabar angin dan fitnah tidak boleh dibiarkan bercambah dan membiak subur, sebaliknya harus diperangi secara habis-habisan.\nKini, semua pihak tanpa mengira fahaman politik perlu bersatu berganding bahu dengan tulus dan telus serta berusaha dalam usaha memulihkan kestabilan politik dan ekonomi negara. Penyebar khabar angin perlu menghentikan perbuatan tersebut dan tidak mengulanginya kembali. Kepimpinan yang sedia haruslah diberikan kerjasama, sokongan padu dan sekiranya perlu, diberikan teguran dengan cadangan membina, bukannya mengambil peluang untuk memburukkan lagi keadaan kerana hal tersebut tidak akan menyumbang kepada kestabilan politik dan ekonomi negara.\nPihak kerajaan juga seharusnya bertegas dan mengenakan hukuman yang selayaknya untuk penyebar khabar angin dan pemfitnah supaya mereka tidak mengulanginya kembali, di samping memberi peringatan kepada orang lain supaya tidak melakukan perlakuan yang serupa. Perkara ini perlu digubal, dibahaskan dan dijadikan rang undang-undang kerana sesungguhnya fitnah dan khabar angin itu adalah lebih tajam daripada mata pedang dan boleh mendatangkan kemusnahan yang lebih besar. Hukuman \u00a0yang sewajarnya perlu dikenakan ke atas mereka.\nBerdasarkan rujukan ayat 33 hingga 35 surah al-Maa\u2019idah , pensabotaj ekonomi negara bolehlah dikategorikan sebagai pengacau keamanan dan pembuat kerosakan di muka bumi apabila hukuman bagi pelakunya adalah sebagaimana terjemahan ayat yang bermaksud:\n\u201cSesungguhnya pembalasan terhadap orang memerangi Allah SWT dan Rasul-Nya dan yang membuat kerosakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya). Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka di dunia, dan di akhirat mereka beroleh siksaan yang besar\u201d \u2013al-Maa\u2019idah:33\n\u201cKecuali orang yang taubat (di antara mereka) sebelum kamu menguasai (menangkap) mereka; maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Pengampun\u201d \u2013 al-Maa\u2019idah:34.\n\u201cHai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah SWT dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah pada jalan-Nya, supaya kamu mendapat keruntungan\u201d \u2013 al-Maa\u2019dah:35." "Sebanyak 9696 Calon Memperoleh Keputusan Cemerlang SPM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013\u00a0 Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datin Sri Datuk Hajah Nor Zamani Abdol Hamid mengumumkan bahawa sebanyak 55.29 peratus daripada keseluruhan 407 097 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 lulus sekurang-kurangnya semua mata pelajaran. Beliau turut mengumumkan sebanyak 9696 orang calon SPM tahun 2021 memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran.\nBeliau menyatakan bahawa gred purata nasional (GPN), iaitu indeks yang digunakan untuk menilai pencapaian calon SPM 2021 di seluruh negara mencatatkan 4.86 mata. Hal ini bermaksud, nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian yang lebih baik. Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa sebanyak 336 630 calon layak menerima sijil, iaitu 88.09 peratus daripada 407 097 calon yang mendaftar dalam peperiksaan SPM tahun 2021.\nPelaporan analisis prestasi mata pelajaran dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu 27 mata pelajaran baharu, 48 mata pelajaran sedia ada yang menggunakan format baharu dan 20 mata pelajaran dengan format sedia ada. Mata pelajaran Seni Halus 2D, Tarian, Apresiasi Tari menunjukkan prestasi tertinggi bagi kategori mata pelajaran baharu. Mata pelajaran Bahasa Kadazan Dusun menunjukkan prestasi tertinggi bagi kategori mata pelajaran sedia ada dengan format baharu, manakala mata pelajaran Turath Dirasat Islamiah menunjukkan prestasi tertinggi bagi kategori mata pelajaran sedia ada dengan format yang sama.\nPihak Kementerian Pendidikan Malaysia turut melibatkan pakar pentaksiran luar negara untuk meningkatkan kualiti SPM pada peringkat antarabangsa. Pakar pentaksiran luar yang terlibat dalam SPM tahun 2021 ialah Cambridge Assessment English (CAE), Cambridge Assessment International Education (CAIE) dan Pearson.\nBeliau turut memaklumkan bahawa calon boleh mendapatkan keputusan SPM di sekolah masing-masing bermula pada pukul 10:00 pagi, manakala bagi calon persendirian, slip keputusan akan dihantar melalui pos pada tarikh yang sama. Selain menyemak di sekolah masing-masing, calon sekolah dan calon persendirian juga boleh memilih dua kaedah lain untuk mendapatkan keputusan. Keputusan SPM juga boleh diperoleh secara dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my bermula pada pukul 10:00 pagi hari ini hingga pukul 6:00 petang, 24 Jun.\nSelain itu, calon juga boleh mendapatkan rumusan keputusan berkenaan melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPM No KP Angka Giliran dan dihantar ke nombor 15888. Sistem ini diaktifkan bermula pada pukul 10:00 pagi hari ini hingga jam 6:00 petang pada 22 Jun 2022." "Sebanyak 486 Orang Calon SPM di Kuala Lumpur Peroleh Semua A\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebanyak 13 761 (87.88%) orang calon layak dianugerahkan sijil bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dan sebanyak 11 orang (0.07%) telah memperoleh keputusan Cemerlang Tertinggi (A+) dalam semua mata pelajaran yang diduduki.\nBilangan calon yang memperoleh Cemerlang Minimum A- (gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki pula adalah sebanyak 475 orang (3.03%).\nPengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Puan Hajah Norhayati Haji Ab Wahab mengumumkan indeks Gred Purata Negeri (GPN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 2021 ialah 4.81.\nBeliau turut mengumumkan, sebanyak 65 orang calon (76.47%) daripada 85 orang Calon Berkeperluan Khas (CBK) yang menduduki peperiksaan layak memperoleh sijil SPM. \u201cPencapaian ini merupakan suatu pencapaian baik yang ditunjukkan oleh calon-calon CBK,\u201c jelas beliau dalam Sidang Media Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM 2021 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.\nSelain itu, sebanyak 11 orang calon Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) telah menduduki peperiksaan dan sembilan orang calon layak memperoleh sijil (81.82%). Sebanyak tiga orang calon pula lulus dalam semua mata pelajaran. Puan Hajah Norhayati menyifatkan pencapaian tersebut sebagai cemerlang meskipun mereka menghadapi cabaran dan dugaan dalam mengharungi kehidupan seharian.\nTambah beliau, pendaftaran telah dibuka mulai 8 Mei 2022 hingga 23 Jun 2022 untuk calon SPM 2021 yang ingin mengambil peperiksaan SPM Ulangan 2022, manakala pendaftaran bagi calon persendirian telah dibuka pada 8 Mei 2022 lalu hingga 10 Julai 2022. Pendaftaran boleh dibuat dalam talian dengan melayari laman web Lembaga Peperiksaan di sppat.moe.gov.my.\n\nBeliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua calon serta mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pejabat Pendidikan Wilayah, semua petugas, ibu bapa, guru-guru, pentadbir sekolah, pihak media dan masyarakat yang menunjukkan keprihatinan terhadap pendidikan secara berterusan pada peringkat sekolah." "SPM 2021: Selangor Mencatat Peningkatan GPN\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSelangor \u2013 Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2021 bagi negeri Selangor, memperlihatkan calon yang layak mendapat sijil telah meningkat sebanyak 0.2 peratus berbanding dengan tahun 2020. Sebanyak 55 626 calon SPM 2021 lulus bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah dengan peratusan sebanyak 85.60 peratus.\nDalam sidang media hari ini, Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Puan Rohayati Abd. Hamed memaklumkan bahawa gred purata negeri (GPN) dalam peperiksaan SPM 2021 bagi Selangor ialah 4.87 mata berbanding dengan 4.90 bagi SPM Tahun 2020. Gred purata negeri pada tahun 2021 telah menunjukkan pencapaian yang lebih baik berbanding dengan tahun sebelumnya yang mengalami penurunan GPN sebanyak 0.03 mata.\nSelain itu, Puan Rohayati menjelaskan, peratusan calon yang memperoleh gred cemerlang (A+, A dan/atau A-) bagi semua mata pelajaran yang diduduki dalam SPM Tahun 2021 adalah sebanyak 1803 orang calon, iaitu 2.77 peratus berbanding dengan 2.59 peratus bagi tahun sebelumnya. Tambah beliau, sebanyak 53 orang calon sekolah di bawah KPM telah berjaya memperoleh gred Cemerlang Tertinggi dengan keputusan A+ dalam semua mata pelajaran yang telah diduduki. Pihak Jabatan Pendidikan Negeri Selangor mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua calon SPM 2021 atas keputusan cemerlang yang telah dicapai oleh mereka." "Cabaran PdPR Bukan Alasan untuk Ukir Kecemerlangan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) rata-ratanya dianggap sebagai cabaran dan sukar buat semua pelajar yang terpaksa mengikuti kelas secara dalam talian ketika wabak COVID-19 melanda negara.\nNamun begitu, bagi tiga orang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, perkara tersebut bukanlah perkara yang boleh dijadikan alasan untuk tidak meraih kejayaan dalam peperiksaan. Hal ini demikian kerana mereka bangkit mengejar sukatan pelajaran sekembalinya ke sekolah untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka. Pelajar-pelajar ini diraikan dalam Sidang Media Pengumuman Rasmi Keputusan Peperiksaan SPM 2021 peringkat negeri di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada hari ini.\nBagi Puteri Aishah Megat Shamrolshah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tun Dr. Ismail yang memperoleh keputusan 9A+, kesukaran dalam mempelajari mata pelajaran Matematik Tambahan berjaya ditepis dengan usaha membuat latih tubi secara konsisten dan menyertai kelas tambahan untuk menaikkan lagi gred. Pada akhirnya, beliau berjaya melonjakkan gred daripada C+ kepada A+ dalam mata pelajaran tersebut. Puteri Aishah yang merupakan anak kedua daripada dua orang adik-beradik berazam untuk membina kerjaya dalam bidang STEM (Science, Technology, Engineering and Maths) pada masa akan datang.\n\u00a0\nBagi calon berkeperluan khas (CBK) dengan masalah penglihatan dari SMK Pendidikan Khas Setapak, Ahmad Shazrazin Mohd Shuuharizal, beliau menghadapi kesukaran dalam mengejar semula sukatan pelajaran yang dipelajari semasa tempoh PdPR. Namun begitu, berkat keazaman dan kesungguhan beliau, akhirnya beliau berjaya menggenggam keputusan 9A dalam SPM 2021. Ahmad Shazrazin berpegang pada prinsip tahu akan kemampuan sendiri dan tidak terlalu mengikut orang lain serta menjadi diri sendiri. Beliau berterima kasih kepada guru-guru yang banyak membantu meningkatkan kefahaman beliau dalam pelajaran dan ingin menyambung pelajaran dalam bidang seni.\nSambutan Hari Bapa pastinya lebih manis apabila pencapaian cemerlang 9A+ dalam peperiksaan SPM 2021 oleh Lew You De dijadikan sebagai hadiah buat bapanya. Pelajar dari SMK Seri Bintang Selatan itu menitipkan kata-kata semangat buat rakan-rakan yang lain agar sentiasa tekun dan mempunyai disiplin diri yang tinggi untuk mencapai cita-cita. You De yang meminati mata pelajaran Matematik mengimpikan cita-citanya untuk menyambung pelajaran ke luar negara kelak.\nSegala cabaran dan rintangan pasti akan dapat diatasi dengan semangat dan usaha yang konsisten dalam melakukan sesuatu perkara. Kejayaan pelajar-pelajar ini seharusnya dijadikan inspirasi buat masyarakat supaya dapat menyumbang khidmat bakti buat diri sendiri, keluarga, masyarakat serta tanah air tercinta." "Penterjemahan Merangsang Pengetahuan Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 berjaya menarik kehadiran sebanyak 1.25 juta orang pengunjung. Tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan ini setelah Keluarga Malaysia melalui dua tahun Perintah Kawalan Pergerakan tanpa meraikan pesta buku secara bersemuka. Keluarga Malaysia semakin menyedari bahawa \u201cBangsa yang membaca ialah bangsa yang hebat\u201d dan \u201cBangsa yang membaca, bangsa yang melawan\u201d. Melawan dalam erti katanya petah dalam berilmu dan tidak mudah diperkutak-katikkan serta tidak mudah tertindas kerana kedangkalan ilmu generasinya.\nUntuk mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, aktiviti penterjemahan buku bahasa asing ke dalam bahasa Melayu dilihat sebagai satu inisiatif terbaik yang perlu dilakukan untuk pembangunan minda bangsa dan negara. Tidak dinafikan, usaha menterjemahkan buku bahasa asing merupakan tugas yang sangat mencabar dan rumit kerana bukan sekadar menterjemahkan setiap perkataan tetapi perlu dilakukan secara menyeluruh dengan menyemak struktur dan memastikan penggunaan konteks ayat betul, tepat dan sesuai mengikut bahasa yang diterjemahkan.\nBuku dalam bahasa asing yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu merupakan satu kaedah yang paling berkesan dalam proses pemindahan ilmu yang membolehkan masyarakat dapat mengikuti perkembangan ilmu sama ada yang terdahulu mahupun yang terkini. Usaha penterjemahan ini sangat berbaloi kerana bukan sahaja dapat menyebarluaskan ilmu, malahan dapat merangsang pengetahuan masyarakat tentang bidang penting seperti sains, teknologi dan multimedia.\nMelalui terjemahan juga, pembaca akan dapat menikmati karya-karya terbaik dunia. Buku-buku yang diterjemahkan bukan sahaja daripada\u00a0 bahasa Inggeris, bahkan bahasa lain di dunia yang relevan dengan keperluan Keluarga Malaysia.\nNegara Jepun dan Jerman adalah antara negara yang boleh dicontohi dalam kegiatan penterjemahan buku bahasa asing. Negara yang pernah menghadapi kehancuran kota ketika Perang Dunia Kedua ini sangat aktif menterjemahkan buku-buku penting dari negara lain ke dalam bahasa ibunda masing-masing sehingga berupaya meletakkan masyarakatnya dalam kelompok termaju dan mempunyai ilmu tentang inovasi teknologi dan automotif terbaik dunia.\nNegara luar telah menjadikan negara ini sebagai sumber rujukan ilmu, malah menterjemahkan pula buku-buku dari negara tersebut ke dalam bahasa masing-masing. Hal ini menunjukkan bahawa ilmu yang diperoleh mampu menjadikan sesebuah negara mengeluarkan produk hasil daripada pembacaan terjemahan buku daripada bahasa negara lain.\nKesinambungan daripada penterjemahan buku bahasa asing ke dalam bahasa Melayu itu akan dapat membantu komunikasi ilmu dengan bangsa lain. Jurang kemajuan atau kebaharuan pengetahuan antara negara di dunia dalam pelbagai bidang dapat dirapatkan. Kecintaan terhadap ilmu menjadi semakin luas dan membantu masyarakat memahami sesuatu bidang.\nMisalnya, bidang perindustrian dan perubatan banyak menggunakan frasa dalam bahasa asing. Oleh itu, penterjemahan ke dalam bahasa Melayu akan dapat memberikan kefahaman yang mudah dan jelas kepada individu yang baru mula menceburi bidang yang berkaitan.\nPenterjemahan buku bukan sahaja berfokuskan disiplin ilmiah bahkan buku umum atau buku ilmu am. Kepelbagaian bahan bacaan terjemahan secara tidak langsung akan memberikan banyak pilihan kepada pembaca untuk memilih buku yang digemari.\nAntara karya yang telah diterjemahkan ialah Sherlock Holmes, karya Sir Arthur Conan. Karya yang terkenal di seluruh dunia ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu standard dan diterbitkan oleh PTS. Sementara itu, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) juga telah menterjemahkan Animal Farm, karya George Orwell ke dalam bahasa Melayu dan menerbitkannya dengan tajuk Politik Kandang.\nPembelian buku terjemahan yang terdapat di pasaran dapat meningkatkan capaian pembaca serta merangsang minda masyarakat untuk lebih memahami dan mengetahui tentang masyarakat luar negara. Ilmu am sebegini sangat penting untuk mendidik masyarakat menjadi lebih peka dan menghormati adat dan budaya negara lain jika berada di luar negara. \u201cKatak di bawah tempurung\u201d dalam konteks pengembangan ilmu semakin lama dapat dihakis dengan informasi berguna daripada telahan hasil buku terjemahan.\nKebanggaan terhadap pemilikan koleksi penterjemahan bahasa asing ke dalam bahasa Melayu bukanlah menjadi tujuan utama tetapi fokus kegiatan ini adalah untuk melahirkan generasi yang cakna ilmu di samping kesungguhan dalam memperkasakan bahasa Melayu. Dalam hal ini, komitmen daripada penterjemah sangat dituntut.\nMemang benar, kerja penterjemah bukanlah suatu tugas yang mudah kerana memerlukan ketelitian semasa melaksanakan tugasan tersebut. Penguasaan terhadap bahan sumber dan bahasa sasaran menjadi keutamaan selain tempoh masa yang lama untuk menyiapkan sesuatu projek buku terjemahan.\nPerkampungan penterjemah seluruh negara dapat dilihat sebagai suatu kuasa pemangkin kepada usaha penerbitan sumber ilmu yang pelbagai. Penterjemah profesionalisme akan sentiasa bersedia merujuk bahasa dan pakar bidang lain bagi menghasilkan terjemahan berkualiti yang akhirnya akan memberikan kepuasan dan penghayatan ilmu kepada pembaca. Pengorbanan yang memerlukan kesabaran, kecekalan dan kesungguhan ini dilakukan demi kepentingan bahasa, bangsa dan negara.\nPihak yang berautoriti perlu membuka mata untuk melihat kegigihan para penterjemah dengan menyediakan insentif terbaik dari aspek bayaran yang berbaloi dengan kerja yang dilakukan selain menyediakan dana khas bagi memperkasakan bidang ini sejajar dengan agenda memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa.\nITBM perlu terus disokong kewujudannya dengan menyuntik dana penterjemahan buku untuk membantu melancarkan urusan pentadbiran serta menjadikan badan ini sebagai hab penterjemahan buku asing ke dalam bahasa Melayu.\nSatu perkara yang dapat dilihat sebagai kelangsungan keperluan bidang penterjemahan ialah penawaran peluang kerjaya kepada Keluarga Malaysia. Para graduan yang memiliki sijil ataupun mempunyai kemahiran bahasa asing di universiti mempunyai kelebihan untuk menceburi kerjaya ini.\nPenterjemah amatur juga dapat dinaik taraf statusnya ke tahap profesional dengan menyediakan latihan atau kursus terjemahan dalam tempoh masa yang ditetapkan dan diambil bekerja di badan penerbitan kerajaan ataupun swasta. Hal ini juga akan dapat meyakinkan masyarakat bahawa bidang bahasa sememangnya mendapat tempat di pasaran kerja. Senario positif ini turut menambahkan kuantiti penerbitan buku terjemahan ke dalam bahasa Melayu.\nTidak salah untuk menimbulkan keghairahan terhadap fenomena ini kerana hal ini merupakan suatu bukti bahawa sarjana, ilmuwan dan cendekiawan mahupun pihak penerbitan negara sememangnya serius dalam melahirkan generasi yang mempunyai kualiti insan dengan kecerdasan otak yang tinggi, kecerdasan emosi yang stabil dan kecerdasan spiritual yang baik melalui aktiviti pembacaan buku terjemahan ke dalam bahasa Melayu.\nAktiviti terjemahan ke dalam bahasa ibunda menyebabkan pembaca tempatan dapat mengikuti kandungan yang disampaikan dan menerapkannya dalam dunia pekerjaan ataupun kehidupan seharian. Industri penterjemahan buku perlu terus diperhatikan ibarat menatang minyak yang penuh selain mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa yang berwibawa dalam pelbagai bidang pengetahuan.\n\u00a0\n*******************************************************************************\nProfesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad \u2212\u00a0Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia." "Lakukan yang Terbaik pada Masa Hadapan \u2013 YB Menteri Kanan Pendidikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2014\u00a0Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin berpandangan bahawa beliau yakin para guru, ibu bapa dan para pelajar telah berikhtiar untuk berjaya dengan kaedah yang terbaik dan berharap agar para pelajar dapat melakukan yang terbaik pada masa hadapan.\nBeliau berkata demikian semasa sesi lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 18 (1) untuk bertemu dengan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dan para guru bagi mendapatkan input yang lebih mendalam tentang keputusan SPM 2021.\nBagi calon SPM 2021 di sekolah ini, saya mendoakan yang terbaik untuk semua. Calon SPM 2021 merupakan kohort yang paling terkesan dengan pandemik COVID-19. Calon kohort 2021 terkesan sewaktu mereka berada di tingkatan empat dan tingkatan lima. Kohort 2021 ini juga merupakan kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) baharu.\nYB Menteri Kanan Pendidikan menjelaskan bahawa, segala keputusan yang dicapai oleh calon SPM 2021 pada hari ini perlulah diterima dengan hati yang terbuka. Perkara yang paling penting termasuklah merangka perjalanan kehidupan yang seterusnya. Oleh itu, ibu bapa perlu berbincang dengan anak-anak mereka tentang hala tuju yang sesuai untuk diambil demi masa hadapan mereka.\n\u201cJangan takut untuk mengambil pendekatan yang sedikit berbeza daripada perancangan asal bagi memastikan anak-anak dapat melalui segala cabaran dan dugaan dalam kehidupan yang mendatang dengan lebih baik,\u201c jelas YB Menteri Kanan Pendidikan.\nSementara itu, Pengetua SMK Putrajaya Presint 18 (1), YBrs. Puan Noor Akmar [email\u00a0protected] Jaih menjelaskan bahawa sebanyak 169 orang calon dari sekolah ini telah menduduki peperiksaan SPM dan berjaya mencapai keputusan 97.60 peratus lulus. Hal ini bermakna, sebanyak 165 orang pelajar yang menduduki peperiksaan tersebut layak untuk mendapat sijil.\nMenurut beliau, gred purata sekolah (GPS) turut meningkat kepada 4.43 dan peningkatan ini merupakan GPS petunjuk kualiti bagi gred dalam peperiksaan. Nilai GPS yang lebih kecil menunjukkan kualiti yang lebih baik.\nDalam majlis tersebut juga, beliau mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada dua orang pelajar yang telah berjaya memperoleh keputusan lapan A dalam peperiksaan tersebut, iaitu Irzati Batrisyia Ibrahim dan Aiman Zafri Sani Zuhairi. Pada tahun ini, keputusan SPM telah menunjukkan peningkatan bilangan murid cemerlang dengan memperoleh sekurang-kurangnya empat A ke atas, iaitu sebanyak 51 orang.\nBeliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang telah banyak membantu pihak sekolah bagi menjayakan segala aktiviti dalam usaha meningkatkan kecemerlangan pelajar dalam pelbagai bidang di sekolah itu. Beliau juga berharap agar segala kerjasama yang terjalin akan menjadi lebih akrab dan bersama-sama berganding bahu untuk memastikan kegemilangan sekolah tersebut.\n\u201cSemua pihak perlu saling membantu dan lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Potensi dan bakat yang dimiliki oleh pelajar mestilah digilap. Kerjasama dan perpaduan merupakan kunci kejayaan,\u201c akhiri YB Menteri Kanan Pendidikan semasa berucap di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 18 (1)." "Raja Permaisuri Perak Berkenan Berangkat Melawat SMK Seri Samudera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nManjung \u2013\u00a0Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim mencemar duli berangkat ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Samudera, Manjung, Perak bagi menghadiri sebuah acara yang berlangsung pada pagi tadi. Mengiringi keberangkatan tiba baginda ialah Timbalan Menteri Pendidikan I, YBhg. Dato\u2019 Dr. Mah Hang Soon, Exco Pendidikan, Pengajian dan Sumber Manusia Negeri, YBrs. Tuan Ahmad Saidi Mohamad Daud, dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak, YBrs. Tuan Aznan Alias.\nSMK Seri Samudera merupakan Sekolah Amanah Negeri Perak di bawah Program Sekolah Amanah (trust school) yang diuruskan oleh Yayasan Amir. Sekolah ini merupakan antara 94 buah sekolah yang dipilih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menyertai program tersebut. Program Sekolah Amanah ini dibimbing oleh LeapEd Services Sdn. Bhd.\nMenurut pengetua sekolah berkenaan, iaitu Puan Sahila Shukor, SMK Seri Samudera telah melalui banyak cabaran dan rentetan kejayaan hasil integrasi dan kolaborasi dengan KPM, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Pejabat Pendidikan Daerah Manjung dan seluruh warga sekolah di bawah bimbingan pihak Yayasan Amir dan LeapED Service Sdn. Bhd.\n\u201cSMK Seri Samudera sebagai sebuah sekolah amanah yang bermatlamat untuk membawa perubahan terhadap prestasi sekolah dan meningkatkan kemenjadian pelajar selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara,\u201c jelas beliau.\nPelbagai program telah dilaksanakan oleh sekolah tersebut. Antara tujuannya termasuklah menambah baik proses penyampaian pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar sejajar dengan Pembelajaran Abad ke-21 yang merangkumi 14 Kompetensi Struktur Pembelajaran Koperatif (CLS), menghasilkan lebih banyak guru cemerlang yang serba boleh melalui Pembangunan Profesional Berterusan (CPD), Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) dan Membudayakan Kajian Tindakan serta meningkatkan pembangunan modal insan melalui penubuhan Student\u2019s Voice Group (SVG) dan aktiviti kokurikulum.\nSepanjang lebih lima tahun memainkan peranan sebagai sekolah amanah, pelbagai kejayaan telah diraih dan dilakar oleh guru dan pelajar sekolah tersebut. Antara kejayaan yang telah dicapai pada peringkat negeri dan antarabangsa ialah:\nDalam majlis tersebut, DYMM Raja Permaisuri Perak berkenan berangkat melawat Kelas Pendidikan Khas dan Kelas Kompetensi Struktur Pembelajaran Koperatif (CLS) Tingkatan 5. Selain itu, baginda juga berkenan melawat pameran inovasi yang berlangsung di sekolah tersebut." "Penjelasan Lanjut Berkenaan dengan SPM 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur- Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah merujuk laporan media berkaitan dengan jumlah calon yang tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.\nLP memaklumkan bahawa jumlah calon berdaftar bagi peperiksaan SPM 2021 adalah sebanyak 407 097 orang seperti pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2021. Bagi tujuan analisis keputusan peperiksaan SPM 2021, sebanyak 392 837 orang calon berdaftar sahaja yang diambil kira. Calon ini terdiri daripada mereka yang telah mendaftar buat kali pertama dan mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran.\nDaripada jumlah tersebut, sebanyak 382 156 orang atau 97.28 peratus calon sekolah dan calon persendirian telah hadir bagi menduduki peperiksaan. Jumlah calon yang tidak hadir pula adalah sebanyak 9037 orang atau 2.30 peratus, iaitu calon sekolah KPM, calon sekolah agensi kerajaan, calon sekolah menengah agama negeri, calon sekolah swasta serta calon sekolah menengah agama rakyat.\nSebanyak 1644 orang atau 0.42 peratus merupakan calon persendirian. LP berharap agar penjelasan ini dapat memberikan gambaran sebenar berkenaan dengan jumlah calon yang tidak menduduki peperiksaan dalam SPM 2021." "Program Sekolah Amanah Melonjakkan Prestasi Sekolah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nManjung \u2013 Program Sekolah Amanah merupakan program yang berfungsi untuk membantu meningkatkan pencapaian sekolah-sekolah terpilih dalam bidang akedemik, hal ehwal pelajar, kokurikulum dan lain-lain.\nSekolah Menengah Kebangsaan Seri Samudera (SMK Seri Samudera) yang merupakan Sekolah Amanah Negeri Perak di bawah Program Sekolah Amanah diuruskan oleh Yayasan Amir dan dibimbing oleh LeapEd Services Sdn. Bhd. merupakan antara 94 buah sekolah yang dipilih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menyertai program tersebut.\n\u201cProgram Sekolah Amanah dimulakan oleh KPM bagi menjalankan program transformasi dalam persekitaran pembelajaran di sekolah awam melalui kerjasama bijak antara sektor awam dengan swasta. Apabila SMK Seri Samudera dipilih sebagai Sekolah Amanah Negeri Perak di bawah KPM pada tahun 2017, peningkatan prestasi para pelajar semakin meningkat dan menyerlah. Hasilnya, sehingga hari ini pelbagai kejayaan dalam kalangan pelajar telah berjaya diraih pada peringkat daerah, negeri dan antarabangsa,\u201d ujar Puan Sahila Shukor, Pengetua Sekolah SMK Seri Samudera dalam Majlis Keberangkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim ke sekolah tersebut semalam.\nMenurut Shahnaz Al-Sadat, Pengerusi LeapEd Services Sdn. Bhd. sewaktu menyampaikan sembah taklimat Program Sekolah Amanah, Sekolah Amanah merupakan sekolah awam yang diurus secara bersama antara pihak swasta dengan pemimpin sekolah kerajaan dan dikawal selia KPM.\nSelain itu, Sekolah Amanah juga diberikan lebih kebebasan dalam membuat keputusan dan tanggungjawab bagi meningkatkan prestasi pelajar di samping bermatlamat untuk membawa perubahan terhadap prestasi sekolah tanpa mengira pencapaian semasa, iaitu daripada sederhana kepada baik dan baik kepada lebih baik.\nAntara fungsi pelaksanaan Program Sekolah Amanah ialah:\n\u201cSekolah Amanah akan mempunyai lebih autonomi dalam membuat keputusan berkaitan dengan kurikulum, kewangan dan sumber manusia bagi menggalakkan inovasi dan menjadi lebih responsif terhadap keperluan komuniti sekolah. Di samping itu, autonomi yang diberikan merangkumi kebebasan memilih kandungan kurikulum, pengagihan peruntukan mengikut keperluan, penyediaan insentif berasaskan prestasi dan pemilihan guru dan kakitangan bukan guru,\u201d jelas Shahnaz Al-Sadat.\nTambah beliau, setiap Sekolah Amanah dibantu oleh sepasukan rakan pendidik yang berganding bahu dengan kakitangan sekolah untuk menambah baik amalan kepimpinan dan juga kemahiran pengajaran. Program itu dirangka dengan tumpuan untuk mengubah peranan guru di dalam bilik darjah dan mentakrif semula konsep kerja rumah dan aktiviti bilik darjah.\nMatlamat Strategik Program Sekolah Amanah\nSG1 \u2013 Membangunkan kepimpinan berkualiti tinggi\nSG2\u00a0\u2013 Menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran\nSG3\u00a0\u2013 Memaksimumkan potensi dan pencapaian murid\nSG4 \u2013 Memperkukuh pelibatan ibu bapa, komuniti dan pihak berkepentingan lain.\nTurut hadir mengiringi DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim ke SMK Seri Samudera, Manjung, Perak ialah Timbalan Menteri Pendidikan I, YBhg. Dato\u2019 Dr. Mah Hang Soon, Exco Pendidikan, Pengajian dan Sumber Manusia Negeri Perak, YBrs. Tuan Ahmad Saidi Mohamad Daud, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak, YBrs. Tuan Aznan Alias dan Orang Besar Jajahan Manjung, Perak, YDH Toh Seri Bijaya Leftenan Kolonel (B) Dato\u2019 Shaharudin Haji Nazari." "Qabil Kekal Juara \u2013 Kejuaraan FIM MiniGP Malaysia Series 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Qabil Irfan berjaya mengekalkan prestasinya sebagai juara dalam Kejuaraan FIM MiniGP Malaysia Series 2022 Pusingan Kedua di Litar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra yang berlangsung pada 18 dan 19 Jun 2022.\nBeliau berjaya menewaskan saingan rapatnya, Adi Putra yang menduduki tempat kedua dengan perbezaan 10 jumlah mata, iaitu Qabil meraih sebanyak 86 mata, manakala Adi mengumpul 76 mata.\u00a0Tempat ketiga dalam acara ini dimenangi oleh Akif Abdullah dengan jumlah mata keseluruhan sebanyak 66 mata.\nDua pelumba terbaik pada akhir kejuaraan musim ini secara tidak langsung akan terpilih sebagai wakil negara pada FIM MiniGP World Finals, yang akan diadakan di Valencia, Sepanyol pada November 2022 nanti.\nSementara itu, dalam saingan SIC Ohvale Championship (110cc), johan bagi acara tersebut ialah Airel Marzuki, diikuti naib johan, Qayyim Razin dan tempat ketiga, Aqil Ramadhan.\nAnakanda bongsu Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, iaitu YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra, berkenan untuk menyempurnakan acara penyampaian trofi kemenangan kepada para pemenang\u00a0 dengan diiringi oleh Prinsipal ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin.\nPuteri Tuanku Raja Muda Perlis, YAM Sharifah Farah Adriana, turut berkenan berangkat menyaksikan Perlumbaan 2 SIC Ohvale Championship dan FIM MiniGP Malaysia Series pada petang semalam." "KTMB Tawarkan Ekspres Khas Sempena Aidiladha\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sekali lagi menawarkan perkhidmatan Ekspres Khas Keluarga Malaysia (EKKM) bagi perjalanan dari KL Sentral ke Tumpat bermula 8 Julai 2022, bersempena sambutan perayaan Aidiladha.\nHal ini berikutan kerana sambutan pengguna Pantai Timur yang pulang ke kampung melalui perkhidmatan EKKM pada Aidilfitri yang lalu amat menggalakkan.\nKetua Pegawai Eksekutif KTMB, Encik Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata,\nKTMB menjangkakan tren ini akan mendapat sambutan yang amat baik seperti sambutan Aidilfitri baru-baru ini.\nPerkhidmatan tren khas ini menawarkan 516 tiket merangkumi perkhidmatan koc katil, koc tempat duduk primier dan superior yang melibatkan perjalanan bermula dari KL Sentral ke Tumpat dan sebaliknya.\nTren khas ini turut dilengkapi dengan koc bufet yang menawarkan ruang makan dan koc chillax yang menyediakan ruang aktiviti solat dan santai bersama keluarga.\nHarga tiket EKKM bermula dengan RM55 hingga RM83 dan tiada tambang konsesi dalam tawaran ini. Orang ramai boleh mula mendapatkan tiket pada 15 Jun 2022 untuk perjalanan 8 Julai hingga 12 Julai akan datang.\nTren ini dijadualkan berlepas dari KL Sentral pada pukul 11.00 malam (8 Julai 2022) dan dijangka tiba di Tumpat pukul 3.53 petang (9 Julai 2022), manakala perjalanan pulang dari Tumpat bermula pada pukul 10.50 malam (12 Julai 2022) dan dijangka tiba di KL Sentral pada pukul 3.04 petang (13 Julai 2022).\nPerkhidmatan tren ini akan berhenti di 16 buah stesen perhentian, iaitu Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Baru, dan Tumpat.\nOrang ramai dinasihatkan supaya membeli tiket EKKM ini dengan lebih awal dan elakkan pembelian di saat-saat akhir. Tiket boleh didapati di kaunter atau menerusi aplikasi KTMB Mobile yang boleh dimuat turun Google Play Store, App Store, dan Huawei AppGallery.\nUntuk sebarang pertanyaan lanjut, hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 0322671200 atau layari laman sesawang www.ktmb.com.my." "Program MDK: Alat Bantu Mengajar yang Berkesan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSeremban \u2013 Pada 20 Jun 2022, majalah yang menjadi rujukan pelajar pada peringkat sekolah menengah dan universiti, Dewan Siswa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengadakan program Majalah Dalam Kelas (MDK) bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban Jaya 2, Negeri Sembilan. Sebanyak 150 orang murid telah menyertai program MDK yang bermula seawal pukul 7.30 pagi dan berakhir pada pukul 1.00 tengah hari.\nProgram ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Encik Ghani Abu, Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah, DBP. \u201cSaya berasa amat berbangga kerana pihak sekolah telah memilih majalah terbitan DBP sebagai bahan rujukan dalam melaksanakan proses pembelajaran di dalam kelas,\u201d jelas Encik Abdul Ghani.\nTambah beliau lagi, \u201cKandungan majalah Dewan Siswa sememangnya sesuai dijadikan rujukan dan menjadi sumber inspirasi kepada murid untuk melengkapkan ilmu pengetahuan dan menambah pengalaman. Bahasa Melayu standard yang digunakan dalam setiap ruangan yang terdapat dalam majalah Dewan Siswa juga boleh meningkatkan penguasaan bahasa dalam kalangan murid, terutamanya dari aspek tatabahasa dan kosa kata. Hal ini selaras dengan matlamat sekolah untuk membuat lonjakan dalam pencapaian bahasa Melayu. Dalam majalah Dewan Siswa, terdapat ruangan \u201cBimbingan\u201d yang menghimpunkan contoh soalan latihan untuk peperiksaan. Maka itu, murid boleh membuat latih tubi dan ulang kaji sebagai persediaan awal untuk menghadapi peperiksaan,\u201d demikian jelas Encik Abdul Ghani yang turut menerangkan serba ringkas tentang kandungan majalah Dewan Siswa dalam ucapannya.\nPengetua SMK Seremban Jaya 2, iaitu Yang Berusaha Haji Muhammad Haji Mohd Nor menyatakan bahawa pihak sekolah sentiasa mengutamakan pencapaian murid dari semua aspek merangkumi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Maka itu, barisan pentadbir dan para guru sentiasa memikirkan program yang boleh meningkatkan pencapaian murid dalam semua aspek tersebut. Sehubungan dengan hal itu, pihak sekolah memutuskan untuk mengadakan program MDK yang bertujuan untuk membudayakan pembacaan majalah Dewan Siswa dalam kalangan murid. Selain itu, majalah Dewan Siswa juga boleh dijadikan rujukan oleh murid bagi meningkatkan kecekapan mereka bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu.\n\u201cMajalah Dewan Siswa sangat sesuai digunakan sebagai bahan bantu mengajar kerana majalah ini sarat dengan maklumat dan pengetahuan yang sangat berguna untuk dibaca dan diketahui oleh murid. Kandungan majalah Dewan Siswa juga turut memaparkan isu semasa yang berlaku di dalam dan di luar negara, dan secara tidak langsung dapat meluaskan pengetahuan am dalam kalangan murid,\u201d demikian jelas Haji Muhammad Haji Mohd Nor yang ternyata gembira kerana sekolahnya terpilih sebagai lokasi penganjuran program MDK oleh sidang editor majalah Dewan Siswa.\nSememangnya program MDK bermatlamat untuk memperkenalkan majalah Dewan Siswa secara langsung kepada murid dan guru bagi menarik perhatian mereka terhadap majalah terbitan DBP. Selain penerangan tentang majalah Dewan Siswa, murid juga diberi aktiviti berbentuk interaktif dengan menggunakan bahan yang terdapat dalam majalah Dewan Siswa. Aktiviti sebeginilah yang menjadikan majalah Dewan Siswa sebagai bahan tambahan dan sokongan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Yang menariknya dalam program MDK ini, murid berpeluang mendengar taklimat yang disampaikan oleh editor majalah tentang panduan menulis karya. Sesi taklimat tentang ruangan majalah dan panduan penulisan oleh editor secara tidak langsung dapat memupuk minat pelajar untuk menulis dan mendorong mereka untuk mengasah bakat dalam bidang penulisan deskriptif dan kreatif.\n\u201cSaya berasa teruja dapat menyertai program MDK,\u201d demikian ujar Vorid Iskandar Abu Bakar, pelajar Tingkatan Lima Ibnu Sinar, SMK Seremban Jaya 2. Menurut pelajar tersebut, hingga kini dia tidak melepaskan peluang untuk membaca majalah Dewan Siswa kerana kandungan majalah yang menarik dengan pelbagai cerita yang menyeronokkan pembaca sepertinya. Selain itu, Vorid Iskandar juga mengakui dia berasa cemburu apabila melihat remaja seusianya berbakat dalam menghasilkan karya seperti cerpen dan puisi. Lantaran itu, dia berharap agar suatu hari nanti dia akan berjaya menghasilkan karya seperti remaja yang lain dan melihat karyanya tersiar dalam majalah Dewan Siswa." "Sekolahku SEJAHTERA: Tunjang Ekosistem Pendidikan yang Unggul\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\nPetaling Jaya \u2013 Konsep Sekolahku SEJAHTERA dianggap sebagai tunjang penting dalam ekosistem pendidikan, khususnya dalam usaha membentuk keperibadian murid semasa mereka berada di sekolah.\nHasil tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Samad, Petaling Jaya, mendapati bahawa 14 elemen dalam konsep Sekolahku SEJAHTERA berjaya diterapkan melalui Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) sedia ada secara semula jadi tanpa membebankan para pelajar, guru mahupun warga sekolah.\n\u201cKonsep Sekolahku SEJAHTERA memberikan penerapan nilai, etika, kerohanian dan identiti nasional dalam kalangan warga sekolah bagi melahirkan insan sejahtera yang menyumbang kepada kemakmuran keluarga, masyarakat, negara dan komuniti,\u201d ujar guru mata pelajaran Bahasa Melayu, Wan Zueliza W Mahyeddin ketika ditemu bual oleh Sidang Editor Dewan Masyarakat.\nMenurut beliau, peranan guru bukan hanya tertumpu pada usaha untuk menyampaikan ilmu kepada murid, malah turut membimbing murid dengan membentuk keperibadian yang positif dalam segenap lapangan.\nPelajar tingkatan satu, Zafran Ahmad Zulhaimi, 15 tahun, berpendapat bahawa konsep Sekolahku SEJAHTERA mampu melahirkan generasi hebat dan berdaya saing.\nSementara itu, Keerthigah a/p Tharmanthiran, 13 tahun, pula berkongsi pandangan bahawa selain proses PdP di dalam kelas, aktiviti kokurikulum juga merupakan aktiviti yang paling menyeronokkan dalam sesi persekolahan.\nMengulas lebih lanjut berkaitan dengan cabaran sepanjang 12 tahun menggalas tanggungjawab sebagai guru, Wan Zueliza turut menyokong usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memansuhkan Ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Jelas beliau, pemansuhan tersebut bertepatan dengan agenda pembangunan pendidikan negara.\n\u201cPemansuhan ini tepat pada masanya kerana pencapaian murid dapat dinilai dengan lebih komprehensif selepas ini,\u201d jelas beliau semasa mengakhiri temu bual tersebut." "Pentaksiran Berasaskan Sekolah: Pemantapan Sistem Pendidikan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada tahun 2021, apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), ada pihak yang bersetuju dan ada juga yang kurang bersetuju dengan pemansuhan tersebut. \u201cUPSR merupakan peperiksaan terpenting dan proses pembelajaran masa hadapan murid di sekolah rendah.\u201d Itu antara alasan yang diberikan atas ketidaksetujuan terhadap pemansuhan UPSR.\nWalau bagaimanapun, KPM tekad dengan keputusan tersebut setelah mengkaji dan meneliti secara holistik pelaksanaan peperiksaan UPSR, termasuk mengambil kira amalan terbaik sistem Pentaksiran Sekolah Rendah (PSR) di pelbagai negara maju seperti Finland, Norway, New Zealand dan Scotland. Ternyata KPM menyedari bahawa kita tidak seharusnya berada di takuk lama. Kepompong peperiksaan yang menekan murid selama ini perlu segera dipecahkan dan digantikan dengan PSR yang lebih terarah demi melahirkan pewaris negara yang lebih berdaya saing yang bakal membawa negara ke mercu kemajuan dan kejayaan.\nPada ketika itu, KPM memberikan 100 peratus jaminan bahawa walaupun UPSR dimansuhkan, ibu bapa tidak perlu berasa bimbang kerana kementerian mempunyai sistem pentaksiran yang terbaik untuk menilai kelayakan kemasukan murid ke sekolah berasrama penuh yang sebenarnya telah terbukti berjaya apabila diaplikasikan dalam pengambilan murid sesi 2021.\nSelepas pemansuhan UPSR pada tahun lalu dimuktamadkan, pada Jun 2022, KPM menerusi Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin, mengumumkan pula pemansuhan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diguna pakai sejak tahun 2014. Pemansuhan tersebut digantikan pula dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang lebih insklusif.\nUmum mengetahui bahawa sejak tahun 1993, pelajar tingkatan tiga akan melalui Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang merupakan peperiksaan kebangsaan yang ditadbir secara berpusat, manakala elemen penilaian kerja kursus pula dinilai oleh sekolah pada peringkat menengah rendah. Setelah 21 tahun pelaksanaan PMR, pada tahun 2014, KPM memperkenalkan PT3 untuk menggantikan PMR. Walau bagaimanapun, sebelum itu, iaitu pada tahun 2012, PBS sudah diaplikasikan. Tujuannya adalah untuk mengurangkan tumpuan yang keterlaluan terhadap peperiksaan semata-mata. Kini, PT3 yang berusia kurang daripada lapan tahun dimansuhkan sepenuhnya dan digantikan dengan PBS.\u00a0 Dalam perkara ini, perancangan KPM dilihat amat sistematik kerana kementerian ini mempunyai perancangan yang amat menumpukan kemenjadian murid dengan memperkenalkan PBS yang sudah dilaksanakan sembilan tahun yang lalu. Kaedah pembelajaran baharu menerusi PBS bagi menggantikan PT3 dilihat lebih inklusif dalam menilai potensi sebenar pelajar pada peringkat sekolah. Hal ini amat penting dalam membina generasi baharu yang hebat meliputi semua aspek pendidikan.\nPada hakikatnya, banyak yang telah kita belajar pada tahun 2020 dan tahun 2021 apabila PT3 tidak dapat dilaksanakan ekoran daripada pandemik COVID-19 yang memaksa sistem pendidikan negara berubah kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Selepas dua tahun PT3 terpaksa ditangguhkan, pada akhirnya (2022), KPM memansuhkan PT3, iaitu bermula pada tahun ini.\nMenurut Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Dasar dan Kokurikulum), YBhg. Datuk Pkharuddin Ghazali, KPM memperkenalkan PBS menerusi tiga komponen, iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi) yang diyakini akan mampu memberikan indikasi yang tepat bagi pencapaian dan kelemahan pelajar. Pentaksiran berdasarkan tiga komponen itu akan membolehkan pelajar melalui proses pembelajaran secara berterusan (formatif) dan peperiksaan pada akhir tahun yang membolehkan guru serta ibu bapa mengambil langkah intervensi bagi memperkasakan pencapaian pelajar.\n\u201cGuru-guru akan memberikan ulasan dan penilaian berdasarkan pencapaian dan usaha anak murid mereka dalam sesuatu mata pelajaran. Penilaian itu akan dihimpunkan oleh guru kelas menjadi satu bentuk laporan penilaian kepada guru dan ibu bapa. Hal yang demikian juga dengan PAJSK, dari segi pelibatan sukan, kokurikulum dan pertandingan, semua itu akan dinilai dan diberikan gred. Setiap murid akan mempunyai laporan penilaian yang bersifat tulen. Maka itu, ibu bapa akan mengetahui apakah mata pelajaran yang akan dikuasai oleh anaknya, kemahirannya dan apa-apa yang perlu ditambah,\u201c katanya ketika mengulas topik Pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah Tahun 2022 dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV.\nDatuk Pkharuddin turut menjelaskan bahawa usaha itu juga mampu memantapkan sistem pendidikan negara ke tahap yang lebih berkualiti dengan adanya standard baharu menerusi pelaksanaan Bank Soalan oleh KPM yang akan menghimpunkan soalan yang berkualiti daripada guru di seluruh negara. Dalam usaha KPM mendepani perubahan tersebut, beliau turut menjelaskan bahawa panduan pentaksiran untuk guru dan kesiapsiagaan pada peringkat struktur sudah dilaksanakan.\n\u201cDari segi struktur, kita sudah ada pegawai kokurikulumnya, mereka akan membantu guru-guru untuk mentaksir. Kita ada pelatih untuk memberikan bimbingan kepada guru-guru. Panduan dan dokumen juga kita sudah ada. Benar, mungkin ada cabarannya tetapi saya yakin guru-guru kita mempunyai keupayaan yang tinggi. Guru-guru juga diyakini boleh dilatih dan akan diberikan kemahiran baharu. Saya yakin mereka akan menjaga integriti dalam mentaksir murid. Apabila kita sudah lihat penilaian formatif dan sumatif itu, pada ketika itu saya yakin ibu bapa akan sedar bahawa sistem dan pelaporan yang baharu ini adalah jauh lebih berkualiti,\u201d katanya.\nDiyakini bahawa PBS bukan sahaja mampu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan kepada pelajar dengan pendekatan bersifat eksplorasi, malah berpotensi melahirkan generasi yang berkeyakinan tinggi. Tidak hairanlah sistem sedemikian sudah lama diterapkan di negara maju yang lebih mengutamakan pembentukan sahsiah murid dari peringkat awal; pembelajaran melalui eksplorasi; inkuiri dan berasaskan projek bagi meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis, kreatif serta inovatif. Selamat Tinggal PT3! Ayuh murid sekalian, serlahkan kompetensi diri, bakat, ilmu dan kebolehan masing-masing." "Pemansuhan PT3: Melahirkan Generasi Hebat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cTiada lagi Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) mulai pada tahun ini,\u201d demikian umum Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin. Beliau membuat pengumuman berkenaan menerusi sidang media khas di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Putrajaya, pada 2 Jun lalu. Tambah beliau, pemansuhan PT3 dilihat wajar dan selari dengan trend pendidikan kini. Pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dilihat wajar berikutan amalan pentaksiran yang mengumpulkan sukatan mata pelajaran itu tidak lagi diamalkan di kebanyakan negara maju.\n\u201cAmalan pentaksiran yang mengumpulkan silibus dalam tempoh tiga hingga lima tahun itu tidak lagi diamalkan di kebanyakan negara seluruh dunia,\u201d jelas Menteri Kanan Pendidikan itu dalam sidang media tersebut. Beliau juga berpendapat keputusan yang dibuat oleh KPM mungkin kekal walaupun berlaku perubahan tampuk pemerintahan negara pada masa akan datang.\n\u201cSaya fikir hal ini sesuatu yang kekal kerana kita telah mula mengamalkan PT3 ini sejak 2011. Maksudnya, guru, sekolah, ibu bapa dan pelajar sudah memahami tentang pentaksiran berdasarkan sekolah dan bilik darjah,\u201d ulas beliau. Tambah beliau, majoriti ibu bapa tidak begitu cenderung dengan peperiksaan berpusat ini kerana membebankan proses pembelajaran anak-anak mereka.\nSebelum ini, peperiksaan PT3 bagi pelajar tingkatan tiga ditangguhkan sejak 2020 ekoran penularan wabak COVID-19. Dalam hal ini, KPM difahamkan akan menambah baik penilaian berasaskan sekolah dan bilik darjah untuk memastikan murid mendapat penguasaan sepenuhnya dalam sesuatu topik yang diajar. Usaha KPM memperkasakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) itu dilihat sebagai satu daripada langkah drastik dalam aspek pendidikan negara supaya tidak terlalu bergantung pada pembelajaran berasaskan peperiksaan. Hal ini juga dapat disifatkan sebagai satu daripada langkah untuk mengurangkan tekanan guru dan pelajar. Pada masa yang sama, Pemansuhan PT3 ini dilihat sebagai satu langkah awal untuk negara tidak mengutamakan pembelajaran berorientasi peperiksaan semata-mata. Pelajar seharusnya diberi ruang yang seluas-luasnya untuk membina keupayaan diri berdasarkan potensi masing-masing agar dapat melahirkan generasi yang lebih berdaya saing pada masa hadapan.\nSebelum ini, kebanyakan guru perlu menumpukan perhatian terhadap persiapan untuk menghadapi peperiksaan penting, termasuklah memastikan murid lebih bersedia dan perlu menghabiskan sukatan mata pelajaran dengan kadar segera apabila perlu melakukan pelbagai cara termasuklah latihan tubi dan kelas tambahan. Oleh itu, pelaksanaan pentaksiran untuk mengukur tahap penguasaan dan prestasi pelajar secara menyeluruh dilihat sebagai satu daripada satu langkah untuk mengurangkan tekanan guru dan murid.\nDengan pemansuhan PT3 mulai tahun ini, PBS yang mengandungi tiga buah komponen, iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi) perlu dimantapkan. Pemansuhan PT3 juga membolehkan guru menilai kemampuan pelajar secara menyeluruh. Melalui pemansuhan PT3, pelajar bukan sahaja dinilai melalui pencapaian akademik, sebaliknya aspek sukan dan kokurikulum juga dapat dinilai dengan lebih meluas, sekali gus mampu mengukuhkan Pentaksiran PBS. Melalui pentaksiran ini, kita dapat melihat pembangunan bakat dan potensi murid. Oleh itu, hal ini sudah tentu dapat menyeimbangkan dimensi pelajar dari segi emosi dan intelek.\nPemansuhan PT3 merupakan langkah positif KPM. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam tempoh dua tahun, KPM telah memansuhkan dua peperiksaan utama. Proses ini dapat dikelaskan sebagai usaha bagi pendidikan negara beralih daripada budaya pembelajaran berorientasikan peperiksaan kepada penilaian yang lebih holistik terhadap bakat serta kemahiran murid.\nTindakan yang sama turut dilakukan oleh Indonesia melalui penghapusan peperiksaan tahunan kebangsaan (UN) yang digantikan dengan sistem penilaian baharu untuk menjamin penilaian pelajar yang lebih holistik termasuklah pencapaian dalam bidang kokurikulum. Walaupun sedikit berbeza, Singapura juga mengamalkan pendekatan baharu dengan menghapuskan peperiksaan pertengahan tahun di semua sekolah rendah dan menengah menjelang tahun 2023.\nDari sudut positif, tindakan ini dapat mengubah budaya pemikiran daripada pembelajaran berorientasikan peperiksaan kepada pembelajaran yang lebih menyeluruh dan dinamik, selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Oleh hal yang demikian, pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) didapati lebih komprehensif kerana merangkumi Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).\nKepelbagaian potensi, bakat dan kebolehan murid pastinya akan diberikan tumpuan khusus serta diraikan. Sebagai contoh, pelajar yang mempunyai daya kreatif tinggi perlu diasah untuk menyertai pertandingan inovasi, manakala pelajar yang mahir dalam aspek berkarya dapat diketengahkan untuk pertandingan kesenian dan kebudayaan.\nFokus pembelajaran di sekolah juga akan berubah, misalnya daripada mempelajari format menjawab soalan dan persediaan peperiksaan berubah kepada penghayatan kandungan pembelajaran itu sendiri. Meskipun PT3 dimansuhkan, sistem penilaian bagi pelajar masih berjalan, tetapi dengan lebih banyak menggunakan kepelbagaian kaedah dan penilaian yang lebih fleksibel.\nWalau bagaimanapun, beberapa perkara perlu ditambah baik bagi menjamin objektif PBS dapat dicapai. Pemantapan latihan pengendalian PBS kepada guru perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa supaya guru dapat melakukan persiapan mencukupi untuk mengubah perancangan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran. Latihan yang menyeluruh perlu diadakan bagi mempersiapkan guru dengan penguasaan, pengetahuan dan kemahiran mencukupi untuk menghadapi kaedah terbaharu ini. Kekurangan dalam aspek latihan menyebabkan guru-guru tidak bersedia dan tidak yakin untuk menerapkan PBS dalam amalan pengajaran, sebaliknya kekal dengan kaedah pengajaran semasa berbanding dengan menukarnya kepada elemen baharu.\nSelain itu, beban tugas guru juga perlu diambil kira terutamanya dalam kelas yang mempunyai bilangan murid yang banyak. Keadaan ini dapat menjejaskan keberkesanan pelaksanaan PBS kerana proses penilaiannya bersifat individu, berbanding dengan penilaian dalam pentaksiran yang bersifat pukal. KPM mungkin boleh mempertimbangkan saranan pelbagai pihak berkaitan dengan isu beban tugas guru agar dapat menyediakan pembantu guru untuk penilaian PBS bagi kelas bersaiz besar.\nPada hakikatnya, PBS dapat menyediakan murid untuk masa hadapan yang lebih baik melalui penilaian lebih holistik. Hal ini menjadikan mereka tidak terikat dengan skema jawapan dan pada akhirnya menjadikan mereka lebih kreatif, inovatif serta mengenali keupayaan dan potensi diri. Keputusan yang dilakukan oleh KPM sudah tentu melalui proses yang panjang dan diteliti secara mendalam oleh pakar-pakar yang terlibat dalam ranah pendidikan negara. Maka, apa-apa yang terbaik demi pembangunan pendidikan negara wajarlah disokong oleh seluruh pihak." "Raja Muda Perlis Berkenan Berangkat Menyempurnakan Perasmian Program Semarak Bahasa Melayu Anjuran UiTM Cawangan Perlis dan MAIPs\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam Majlis Perasmian Program Semarak Bahasa Melayu itu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa serumpun antara Wilayah Selatan Thailand, Malaysia dan Indonesia. Selain itu, bahasa Melayu juga merupakan satu daripada wadah penyatuan selain menjadi lambang jati diri warga negara-negara serumpun. Oleh itu, baginda menyeru generasi muda agar terus melestarikan penguasaan bahasa Melayu kerana mereka merupakan pewaris yang bakal menjadi pemimpin masa depan. Menurut baginda, pelestarian bahasa Melayu amat penting untuk mengukuhkan jati diri generasi muda dalam mendepani arus kemodenan.\n\nMenurut baginda, seiring dengan perkembangan dunia semasa, nafas baharu perlu diberikan dalam pembelajaran dan pengajaran Bahasa Melayu serantau. Proses pembelajaran dan pengajaran perlu ditambah nilai dengan teknik-teknik atau aktiviti yang mampu menarik minat para pelajar untuk mempelajari dan menguasai bahasa Melayu. Sebagai contoh, penggunaan teknologi dan aplikasi terkini seperti video, podcast, dan gamifikasi dapat menarik minat pelajar khususnya generasi muda untuk mendekati bahasa ini.\u00a0 Selain itu, usaha ini dapat meningkatkan literasi digital para pelajar. Titah baginda lagi:" "Ulang Tahun DBP Ke-66: Tumpuan kepada Tiga Teras Strategik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sehari sebelum menjelangnya tarikh keramat 22 Jun 2022, pada pagi ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meraikan perjuangan usianya yang ke-66 (esok) dalam usaha pembinaan, pengembangan dan penerbitan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sekali gus merasmikan pelantar penerbitan digital yang dinamai JendelaDBP.\nDalam ucapan perasmian, Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga DBP kerana institusi yang ditubuhkan dengan semangat untuk memperjuangkan bahasa Melayu itu terus kekal relevan dalam konteks pembangunan tamadun negara.\nMeniti perjalanan usianya hingga hari ini, penubuhan DBP pada tahun 1956, iaitu setahun sebelum kemerdekaan negara cukup sinonim dengan imejnya sebagai badan yang berautoriti dalam hal kebahasaan.\nSementara itu, dalam ucapan alu-aluan bersempena dengan ulang tahun DBP, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menjelaskan bahawa DBP ditubuhkan hasil daripada perjuangan dan kesaktian lidah rakyat dari pelbagai kelompok.\nAlhamdulillah, dengan dukungan semua pihak dan peringkat terutamanya rakyat, DBP dapat terus tegak berdiri sebagai badan bahasa, sastera dan kepustakaan negara.\nTambah beliau, Pelan Strategik DBP 2021 \u2013 2025 yang merupakan asas hala tuju DBP memberikan tumpuan kepada tiga teras strategik, iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ekonomi; Bahasa Melayu sebagai Bahasa Negara; dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu.\n\u201cPerkara utama yang mendasari pelaksanaan Pelan Strategik DBP ini ialah amalan nilai teras yang digariskan dalam Rukun Budaya Korporat DBP, iaitu usaha pelestarian dan pembangunan bakat dalam kalangan warga kerja DBP dan tumpuan untuk melahirkan modal insan DBP yang berupaya untuk mengadaptasi perubahan dan keperluan semasa.\u201d\nOleh itu, selaras dengan Revolusi Perindustrian 4.0, pelantar penerbitan digital JendelaDBP telah berjaya dibangunkan sebagai pusat sehenti untuk semua produk penerbitan, bahasa, sastera dan budaya yang dihasilkan oleh DBP.\nYBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dalam ucapannya turut menyentuh kepentingan integriti dalam kalangan warga DBP dengan berkongsi cerita tentang kejayaan DBP selaku Juara Integriti dan Antirasuah 2021 bagi kategori Agensi Awam Persekutuan. Kejayaan tersebut menurutnya membuktikan bahawa DBP telah mengambil pelbagai inisiatif dalam menyokong usaha kerajaan dalam membanteras rasuah. Terkini, Pelan Antirasuah DBP 2021 \u2013 2025 telah diwujudkan bagi memperkukuh integriti dan usaha membanteras rasuah dalam kalangan warga DBP.\nDalam majlis yang sama, lebih daripada 300 orang warga DBP yang berada di dalam Balai Budaya Tun Syed Nasir dan staf yang mengikuti majlis ini secara dalam talian turut memperkukuh azam dan tekad antirasuah melalui sesi lafaz Ikrar Bebas Rasuah yang diketuai oleh Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.\nSementara itu, menerusi sidang media sebaik-baik sahaja Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-66 dan Pelancaran JendelaDBP berakhir, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menjelaskan bahawa bersesuaian dengan tema Ulang Tahun DBP Ke-66, \u201cApi dari Suatu Zaman\u201d, kecemerlangan DBP dalam usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu akan dapat dicapai menerusi cadangan pindaan Akta DBP selaras dengan aspirasi kerajaan.\nPindaan Akta DBP menurutnya harus dilihat dalam konteks yang lebih menyeluruh dengan memberikan tumpuan kepada aspek pengantarabangsaan, pelesenan, penarafan dan pentauliahan seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob.\nPindaan Akta DBP ini adalah bersifat holistik. DBP akan terus komited untuk meningkatkan peranan pelibatannya sebagai pengawal dan pengesah bahasa di tempat awam. Jadi, masyarakat perlu menghormati bahawa DBP ialah struktur jentera jabatan kerajaan yang mempunyai kuasa tersendiri.\nTurut hadir memeriahkan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-66 dan Pelancaran JendelaDBP ialah YBhg. Datuk Razim Mohd. Noor, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM);\u00a0 mantan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengelola DBP; mantan Ketua Pengarah DBP; serta mantan Pengarah Jabatan yang pernah mengetuai jabatan masing-masing di DBP." "Rasional di Sebalik Pemansuhan PT3\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPengumuman pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) oleh Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin telah diduga oleh banyak pihak selepas PT3 ditangguhkan buat sementara waktu pada tahun lalu akibat pandemik COVID-19. Rata-rata ibu bapa, guru dan kebanyakan pihak menyambut baik pemansuhan PT3 tersebut kerana berpandangan bahawa PT3 sudah tidak lagi sesuai dengan amalan sistem pendidikan pada masa ini yang lebih mementingkan pentaksiran murid secara berterusan.\nPada masa yang sama, usaha KPM untuk terus menambah baik sistem Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dilihat sebagai sesuatu yang selari dengan konsep penilaian pembelajaran yang holistik dan menyeluruh. Antara cadangan KPM yang dilihat mampu memberikan nilai tambah kepada pelaksanaan PBD ialah usaha untuk meningkatkan kemahiran guru dalam melaksanakan PBD mengikut keperluan masing-masing. Misalnya, guru-guru akan diberi latihan dan kemahiran melaksanakan PBD di dalam kelas yang mempunyai bilangan murid yang banyak.\nSuatu perkara yang menarik termasuklah\u00a0 pengenalan sistem peperiksaan akhir tahun apabila KPM akan menyediakan bank soalan. Di bawah usaha ini, pihak KPM akan menyediakan soalan secara berpusat bagi peperiksaan akhir tahun untuk lima mata pelajaran, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah bagi murid tahun empat hingga tahun enam di sekolah rendah dan semua mata pelajaran untuk murid tingkatan satu hingga tingkatan tiga di sekolah menengah.\n\nAntara sebab yang telah dikemukakan oleh Menteri Kanan Pendidikan berkaitan dengan bank soalan ini disediakan termasuklah wujudnya aduan dalam kalangan ibu bapa yang mendakwa soalan peperiksaan yang disediakan oleh guru mempunyai perbezaan antara sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana ada sekolah yang menyediakan soalan yang mudah dan ada sekolah menyediakan soalan yang lebih sukar untuk dijawab oleh murid-murid.\nBagi menyelesaikan isu ini, KPM telah mengambil keputusan terbaik untuk melakukan pembinaan soalan pada peringkat pusat dan kemudian soalan tersebut akan disimpan di dalam sistem bank soalan. Para guru boleh mengakses sistem bank soalan ini dengan memilih soalan-soalan yang difikirkan sesuai untuk diagihkan kepada murid masing-masing. Malah pihak guru sendiri boleh memilih tarikh peperiksaan akhir tahun yang ingin dilaksanakan pada peringkat sekolah.\nPelaksanaan bank soalan ini dilihat oleh banyak pihak dapat membantu guru meringankan beban mereka. Selepas pelaksanaan bank soalan ini dimulakan, guru tidak lagi perlu membina soalan peperiksaan mereka sendiri untuk murid-murid di sekolah mereka, sebaliknya hanya perlu memilih sahaja soalan yang telah disediakan di dalam sistem bank soalan KPM.\nPemansuhan PT3 dan pelaksanaan PBD dipercayai dapat meningkatkan keberkesanan proses pengajaran guru. Pelaksanaan PBD menuntut para guru meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran mereka dalam tiga komponen utama perancangan pengajaran.\nPertama, setiap guru bertanggungjawab menguasai isi kandungan bagi setiap mata pelajaran. Guru mestilah menguasai keseluruhan sukatan pelajaran berdasarkan latihan ikhtisas mereka. Hal ini menjadi tanggungjawab setiap guru untuk menguasai topik pengajaran sebelum memulakan pengajaran di dalam kelas. Komponen kedua, adalah menjadi tanggungjawab hakiki semua guru untuk memahami kepelbagaian keupayaan murid, mengenal pasti, memahami serta memantau kepelbagaian keupayaan serta gaya belajar murid-murid di bawah tanggungjawab mereka. Apabila guru memahami kepelbagaian murid, maka guru akan dapat merancang aktiviti pembelajaran yang sesuai dan berkesan berdasarkan kepelbagaian tersebut.\nKomponen ketiga ialah tanggungjawab guru melaksanakan pentaksiran murid secara berkesan. Selepas menguasai isi kandungan pengajaran dan memahami kepelbagaian murid di dalam kelas, setiap guru perlu merancang dan melaksanakan pentaksiran pembelajaran mengikut keperluan dan keadaan murid masing-masing. Oleh sebab itu, dalam prinsip pentaksiran pendidikan format PBD, setiap soalan peperiksaan yang dibina untuk mengukur prestasi murid mestilah mengambil kira keupayaan dan kesediaan murid-murid.\nPentaksiran dianggap sah dan boleh dipercayai apabila benar-benar dapat mengukur keupayaan sebenar murid-murid. Apabila KPM telah menyediakan bank soalan, guru-guru berpeluang memilih soalan yang berkualiti dan sesuai dengan keperluan pelajar masing-masing.\nBank soalan tersebut mampu memperkasakan kepakaran guru-guru di setiap sekolah untuk membina soalan peperiksaan yang sesuai dengan keperluan murid masing-masing pada masa akan datang. Tujuan peperiksaan dalaman pada peringkat sekolah adalah untuk menilai tahap kemajuan murid dengan pencapaian diri sendiri\u00a0 dalam ujian sebelumnya. Tujuan peperiksaan pada peringkat sekolah tidak bertujuan untuk membandingkan seseorang murid itu dengan murid sekolah yang lain. Apatah lagi membuat perbandingan dengan sekolah di kawasan lain yang mempunyai perbezaan yang ketara, misalnya soalan sekolah pedalaman dibandingkan dengan sekolah berasrama penuh.\nPemansuhan PT3 dan pengenalan PBD sudah pasti membuka lembaran pemikiran baharu masyarakat terhadap amalan pentaksiran pendidikan. Masyarakat khususnya ibu bapa harus memahami kewujudan tiga bentuk penilaian dalam pendidikan yang diamalkan oleh seluruh negara di dunia. Pertama, ujian diagnostik, iaitu ujian yang dilaksanakan sebelum sesuatu pembelajaran bermula. Sebagai contoh, ujian kemasukan darjah satu untuk mengukur tahap keupayaan membaca dan menulis. Kedua, pentaksiran untuk mengukur kemajuan murid yang dilaksanakan secara bersiri secara formatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Tujuan pentaksiran yang bersifat kemajuan ini mampu mengukur kemajuan prestasi murid dalam pembelajaran mereka. Akan tetapi, pentaksiran formatif yang hanya mengukur kemajuan seseorang murid ini tidak boleh digunakan untuk membandingkan prestasi murid tersebut dengan murid yang lain.\nKetiga ialah pentaksiran sumatif dalam bentuk peperiksaan yang bersifat pemilihan seperti SPM atau peperiksaan untuk kemasukan ke asrama penuh. Tujuan peperiksaan ini adalah untuk menentukan murid yang mempunyai prestasi yang tinggi berbanding dengan murid yang lain. Matlamat pentaksiran dalam bentuk peperiksaan pemilihan adalah untuk tujuan isihan berdasarkan prestasi murid berbanding dengan aspek yang lain. Oleh sebab itu, di kebanyakan negara maju, peperiksaan pemilihan ini hanya dilaksanakan sekali sahaja dalam sistem pendidikan mereka, iaitu pada akhir tahun penggal persekolahan.\nPemansuhan PT3 ini bermaksud kita sudah memansuhkan suatu bentuk peperiksaan pemilihan pada tahap tingkatan tiga. Hal ini merupakan sesuatu yang amat baik. Malah, pada masa yang sama kita juga telah bergerak selangkah ke hadapan apabila mula memperkenalkan lebih banyak peperiksaan bersifat kemajuan dalam sistem pendidikan di negara kita.\nDr. Anuar Ahmad, Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia." "SPM 2021: Penerusan Legasi Kecemerlangan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 16 Jun 2022 yang lalu setidak-tidaknya memberikan perkhabaran gembira buat sektor pendidikan negara. Pada kala sektor pendidikan negara sedikit terumbang-ambing dek pandemik COVID-19, kecemerlangan bagi keputusan SPM terus dicatatkan. Calon SPM 2021 yang juga merupakan kohort pertama Kurikulum Standard Sekolah Menegah (KSSM) berhasil merekodkan sebanyak 9696, iaitu 2.54 peratus daripada 407 097 calon memperolehi semua A. manakala, prestasi Gred Purata Nasional (GPN) turut menunjukkan penurunan sebanyak 0.06 peratus, iaitu daripada 4.86 peratus kepada 4.80 peratus.\nPerkembangan ini menunjukkan bahawa keluk pencapaian SPM negara saban tahun kekal cemerlang sejak SPM 2018. Sebagai imbasan, SPM bagi tahun 2018 mencatatkan sebanyak 8436 calon (2.15 peratus) yang memperolehi keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran. Bagi SPM 2019 pula, angka kecemerlangan terus konsisten dengan rekod sebanyak 8876 calon (2.28 peratus) memperolehi keputusan semua A. Begitu juga bagi SPM 2020 yang serba mencabar turut mengejutkan dengan peningkatan seramai 9411 pelajar (2.46 peratus) memperolehi semua A.\n\nNamun begitu, calon SPM 2021 ini berbeza daripada calon-calon sebelumnya memandangkan kohort ini merupakan calon pertama yang dilahirkan dengan format mata pelajaran baharu, iaitu KSSM. KSSM merupakan sebuah sistem pengajian\u00a0 moden yang diperkenalkan bagi menggantikan sistem Kurukulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang pertama kali dilancarkan pada 1988. KSSM yang bersifat kontemporari dan segar dengan suntikan elemen kemahiran seperti komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis dan kreatif menjadi pakej lengkap dalam melahirkan pelajar yang berkompentensi. Set kemahiran yang diasah melalui format KSSM ini lebih bersifat holistik berpaksikan yang membolehkan pelajar menetapkan hala tuju terhadap bidang yang diminati sejak dibangku sekolah.\nSistem ini turut mengubahsuai pengkelasan sistem dua aliran klasik, iaitu Sains dan Sastera dengan menambah pakej yang lebih bervariasi melibatkan empat pakej, iaitu empat pakej Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta pakej Sastera dan Kemanusiaan. Pemilihan bervariasi ini berupaya menjadi jambatan buat para pelajar untuk mengasah bakat dan kemahiran masing-masing sejak dari awal, sekali gus menjadi medan persediaan untuk peringkat pengajian yang lebih tinggi. Berdasarkan keputusan kohort pertama SPM 2021 yang memberangsangkan, pada dasarnya format KSSM ini menunjukkan gambaran positif tentang adaptasi para pelajar terhadap sistem tersebut.\nWalau bagaimanapun, istimewanya calon SPM 2021 ini tidak sekadar berkisar tentang kohort KSSM pertama semata-mata, bahkan elemen cabaran dan di luar jangkaan yang dihadapi menjadikan calon SPM 2021 ini wajar diberikan kredit. Di sebalik episod buka dan tutup sekolah secara berpanjangan, sistem penggiliran persekolahan dan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang diterapkan, keputusan yang dipamerkan tetap berada pada darjah yang luar biasa. Pembelajaran dalam keadaan yang agak merumitkan ini tentunya di luar lingkungan kondusif berbanding dengan amalan secara kebiasaanya yang dilaksanakan di dalam bilik darjah. Malah, calon SPM 2021 ini turut berpengalaman menjadi \u201ccalon penuh\u201d SPM era pandemik yang bermula sejak 2020, iaitu ketika mereka berada di tingkatan empat.\nDari sisi positif, kohort SPM 2021 ini juga memberikan gambaran bahawa mereka berjaya mengadaptasi kaedah PdPR yang tentunya serba mencabar. Cabaran-cabaran yang telah dibangkitkan oleh banyak pihak seperti masalah jaringan Internet, ruang pembelajaran dan kadar tumpuan yang sukar dibuktikan sebagai bukan halangan untuk kohort ini meraih kejayaan. Lantas, perkembangan ini turut menunjukkan bahawa sistem PdPR ini terus relevan untuk dikembangkan sesuai dengan arus peredaran zaman.\nPencapaian cemerlang kohort SPM 2021 pastinya berdiri atas usaha keras para guru, ibu bapa dan pelajar itu sendiri. Oleh hal yang demikian, para guru bagi kohort SPM 2021 merupakan insan yang perlu diberikan kredit sepenuhnya. Guru-guru era pandemik ini melalui fasa yang jauh lebih mencabar. Tidak sekadar memikirkan anak-anak murid yang ketinggalan dalam pelajaran, malah mereka turut\u00a0 mengimbanginya dengan bebanan berganda semasa berada di rumah. Walau bagaimanpun, dalam keadaan serba mencabar, anak murid yang dididik, tetap tidak dikesampingkan. Maka itu, terhasillah sebuah lagi legasi kecemerlangan era pandemik melalui SPM 2021 yang serba-serbi mencabar sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran itu berlaku.\nPenulis, Pensyarah di Universiti Sultan Azlan Shah." "Pelantar Penerbitan Digital JendelaDBP Dilancarkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bersempena dengan Majlis Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Ke-66 pada hari ini, Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin telah melancarkan pelantar penerbitan digital JendelaDBP di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada pagi ini.\nMenurut YB Menteri Kanan Pendidikan, penggunaan JendelaDBP sebagai ruang untuk DBP memperkenalkan pelbagai konteks penggunaan bahasa dalam pelbagai sudut telah menarik minat pelbagai pihak untuk memanfaatkan JendelaDBP.\nKita perlu bergerak seiring dengan pembangunan mengikut zaman di luar sana yang lebih pantas bagi memastikan JendelaDBP ini berperanan sebagai \u2018tingkap\u2019 yang bakal menjadi rujukan kepada semua pihak.\nDalam sidang media yang diadakan selepas majlis tersebut, YB Datuk Dr. Radzi Jidin turut memuji tanggungjawab DBP yang tidak ketinggalan dalam menyediakan bahan penerbitan atau memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dengan menggunakan pendekatan yang mengambil kira kemudahan akses kepada orang ramai.\n\u201cJendelaDBP mampu memberikan manfaat dan menarik minat pelbagai lapisan masyarakat, termasuklah golongan muda,\u201d ujar beliau.\nSementara itu, dalam ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, beliau memaklumkan bahawa JendelaDBP dibangunkan bagi menyebarluaskan pelbagai produk penerbitan, bahasa, sastera dan budaya dalam bentuk digital bersesuaian dengan perkembangan semasa.\nPlatform digital JendelaDBP ini menjadi pusat sehenti untuk semua produk penerbitan, bahasa, sastera dan budaya yang dihasilkan oleh DBP, sekali gus dapat diperluas fungsinya sebagai pusat untuk mengakses dan membeli semua produk DBP.\nJendelaDBP sebagai produk inovasi dalam pemusatan data dengan kepelbagaian kandungan digital yang dibangunkan pada tahun 2021 ini terdiri daripada lima struktur utama, iaitu sohor kini, e-majalah, ujana, TV DBP, Radio DBP dan Peka Bahasa.\nMelalui JendelaDBP, selain berperanan sebagai pusat tumpuan yang menempatkan, mempromosikan serta memasarkan produk penerbitan digital DBP di bawah \u201csatu bumbung\u201d, platform penyampaian perkhidmatan DBP ini juga disesuaikan dengan keperluan pengguna terhadap penerbitan bercetak DBP seperti buku dan majalah. Melalui usaha ini, capaian, carian bahan penerbitan, pelbagai hebahan serta liputan aktiviti DBP adalah lebih meluas, cepat dan berkesan seiring dengan perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 yang menghubungkan manusia melalui dunia digital.\nDi samping itu, DBP sebagai penerbit kerajaan yang terbesar dan berwibawa, pembangunan pelantar penerbitan digital JendelaDBP ini dapat memberikan maklumat data raya tentang kecenderungan minat pembaca dan pengguna berdasarkan jumlah akses terhadap pelantar penerbitan digital ini. Melalui data tersebut, DBP dapat menentukan hala tuju dan membuat keputusan yang berkaitan dengan aktiviti pemasaran atau perniagaan berdasarkan data sebenar pada masa nyata dan seterusnya merancang produk terbitan yang bersifat komersial serta memenuhi keperluan khalayak.\nSepanjang pengoperasian pelantar penerbitan digital JendelaDBP dari 2 Mei 2021 hingga 14 Jun 2022, statistik capaian pengguna JendelaDBP adalah sebanyak 1 054 870 dan diakses oleh 78 buah negara. Pelantar JendelaDBP ini boleh dicapai melalui pautan https://jendeladbp.my/" "Sekolahku SEJAHTERA Memupuk Rasa Cinta akan Sekolah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewujudkan konsep Sekolahku SEJAHTERA sebagai usaha untuk murid memupuk rasa cinta akan sekolah dalam kehidupan mereka.\n\u201cAntara perkara yang kita tekankan menerusi konsep Sekolahku SEJAHTERA ini adalah untuk mewujudkan suasana sekolah yang anak-anak kita sangat seronok untuk hadir sehingga kita tidak perlu memaksa mereka, sebaliknya mereka sendiri yang berasa bahawa sekolah ini sebagai tempat kegemaran mereka,\u201d jelas Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin dalam sidang media bersempena dengan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Ke-66, hari ini.\nApabila menyentuh berkenaan dengan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak menduduki peperiksaan tersebut pada tahun 2021, beliau turut menyatakan bahawa melalui konsep Sekolahku SEJAHTERA, KPM berhasrat untuk melahirkan murid sekolah rendah dan menengah yang memahami bahawa sekolah merupakan sebahagian daripada kehidupan mereka sejak kecil lagi. Maka itu, mereka tidak sewajarnya melupakan sekolah sebagai tempat yang terpenting dalam melakar masa hadapan mereka, iaitu dengan menghadiri peperiksaan SPM.\n\u201cJika perasaan ini dapat diwujudkan pada umur yang masih muda, maka pada masa akan datang isu ini dapat diuruskan secara holistik dan menyeluruh,\u201d jelas YB Datuk Dr. Radzi Jidin.\nMenurut beliau, masalah ketidakhadiran calon SPM bukanlah sesuatu yang baharu dan KPM sentiasa memberikan perhatian yang menyeluruh agar dapat mencari pendekatan dan mekanisme yang paling sesuai untuk mengatasi masalah tersebut.\nMengulas lanjut berkenaan dengan calon SPM yang tidak menduduki peperiksaan pada tahun yang sepatutnya, YB Datuk Dr. Radzi Jidin menjelaskan bahawa apabila seseorang murid itu telah tamat sekolah menengah dan tidak menduduki peperiksaan SPM, mereka telah terkeluar daripada sistem persekolahan. Oleh itu, calon tersebut masih boleh menduduki SPM pada tahun-tahun berikutnya sebagai calon persendirian.\nSidang media itu diadakan di Wisma DBP dan turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Dr. Awang Sariyan dan Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran." "Pindaan Akta DBP Bersifat Holistik \u2013 Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Draf pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 bukan hanya soal penguatkuasaan, khasnya aspek hukuman. Media lebih menyorot aspek penguatkuasaan, walhal dalam sidang media dengan Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin pada 21 Jun 2022 di DBP, telah disebut oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan bahawa cadangan pindaan itu bersifat holistik.\nAspek yang diberi penekanan dalam draf pindaan itu ialah peranan DBP sebagai badan bahasa utama di negara ini dalam bidang pentauliahan, penarafan, pelesenan, penguatkuasaan, perbadanan, dan pengantarabangsaan.\nAkta DBP versi 1959 hanya berkaitan dengan penaikan taraf DBP sebagai jabatan kerajaan kepada badan berkanun. Maka itu, akta itu hanya memperuntukkan aspek prasarana atau struktur DBP dengan pernyataan umum tentang empat tujuan penubuhan DBP (menjadi enam tujuan dalam peluasan 1995). Aspek-aspek pindaan yang dicadangkan penting untuk pengisian fungsi DBP walaupun selama ini DBP telah melaksanakan enam objektif tersebut. Empat objektif pertama berkaitan dengan peranan bahasa, sastera dan penerbitan, sementara dua objektif tambahan pada tahun 1995.\nJika draf cadangan pindaan Akta DBP diluluskan, DBP mempunyai wibawa dan wewenang yang lebih jelas dalam pemenuhan fungsinya sebagai badan berkuasa bahasa yang utama di negara ini, khasnya yang berkaitan dengan wibawa dan wewenang pengeluaran tauliah, penarafan, pelesenan dan pelaksanaan aspek penguatkuasaan serta kegiatan di peringkat antarabangsa.\nSemua pihak dimohon menunggu hasil pelaksanaan proses dan usaha draf pindaan itu dilakukan untuk diajukan kepada pihak berkuasa menurut tatacara yang ditetapkan. Untuk makluman, usaha mengangkat cadangan pindaan Akta DBP telah mengambil tempoh lebih 10 tahun dan DBP berharap dengan kejelasan hasrat kerajaan kini dalam usaha mengangkat martabat bahasa Melayu, DBP diberi peluang melaksanakan fungsinya dengan lebih berkesan." "NCWO Meraikan Ulang Tahun Keputeraan Raja Perempuan Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Majlis Gabungan Persatuan Wanita (NCWO) Perlis menganjurkan Majlis Minum Petang bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Raja Perempuan Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid yang ke-76 di Dewan Warisan, Kangar, Perlis baru-baru ini.\nMajlis dihadiri Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid dan turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.\nKeberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Datin Seri Nor Aswana Omar dan Pengerusi NCWO Perlis, Datuk Mastika Junaidah Husin.\nMajlis tersebut dimulakan dengan beberapa sesi bergambar kenangan bersama dengan ahli-ahli jawatankuasa majlis dan pihak penganjur serta turut dihadiri kira-kira 180 ahli NCWO Perlis.\nRentetan itu, berlangsungnya upacara memotong kek, persembahan cendera kenangan daripada persatuan-persatuan dan disusuli dengan sesi pengurniaan \u201cAnugerah Jasamu Dikenang\u201d dan sesi \u201cPenyerahan Sumbangan Vitamin\u201d kepada golongan yang memerlukan yang disempurnakan oleh DYMM Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid." "Israel: Rejim Apartied yang Layak Diboikot\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIsrael sebenarnya merupakan sebuah negara haram yang tidak sepatutnya diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Hal ini dikatakan demikian kerana negara ini ditubuhkan melalui keganasan dan jenayah perang apabila ribuan rakyat Palestin dibunuh dan lebih daripada 750 ribu orang dipaksa menjadi pelarian pada tahun 1948. Perkara ini telah dinukilkan dengan terperinci oleh beberapa orang sarjana berkenaan sejarah Palestin termasuklah seorang pakar sejarah berbangsa Yahudi sendiri, iaitu Profesor Ilan Pappe dalam buku terkenal beliau berjudul The Ethnic Cleansing of Palestine.\nKezaliman Israel terhadap warga Palestin masih berterusan sehingga ke hari ini kerana Israel telah mendapat sokongan kuat daripada kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarkat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Britain.\nSatu daripada pendekatan untuk menentang kezaliman Israel ialah dengan mendedahkan jenayah aparteid yang sedang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap warga Palestin kepada masyarakat dunia. Jika masyarakat antarabangsa dapat diyakinkan dengan jenayah Israel ini, maka menjadi tanggungjawab masyarakat antarabangsa untuk memboikot Israel, sebagaimana yang telah dilakukan terhadap rejim aparteid Afrika Selatan pada tahun 1970-an dan 1980-an.\n\nApakah Aparteid?\nAparteid merupakan istilah dalam bahasa Afrika yang bermaksud pemisahan. Istilah ini pada asalnya digunakan untuk menggambarkan sistem diskriminasi yang dilakukan terhadap kaum kulit hitam yang wujud di Afrika Selatan yang berakhir pada tahun 1994.\nKini, istilah aparteid bukan sahaja merujuk pada bekas rejim Afrika Selatan, bahkan diterima pakai dalam undang-undang antarabangsa untuk menerangkan sesuatu kategori rejim, yang ditakrifkan dalam Konvensyen Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Penindasan dan Hukuman Jenayah Aparteid (1973). Takrifan istilah aparteid juga telah diperhalusi dalam Artikel 7 Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (2002) yang mentakrifkan jenayah aparteid sebagai \u201cperbuatan tidak berperikemanusiaan.dilakukan dalam konteks penindasan dan penguasaan yang diinstitusikan oleh satu rejim secara sistematik, oleh satu kumpulan kaum ke atas mana-mana kumpulan atau kumpulan kaum lain dan dilakukan dengan niat untuk mengekalkan rejim tersebut.\u201d\nJenayah Aparteid Israel\nHakikat yang berlaku sekarang, Israel (yang dahulunya dikenali sebagai Palestin) dan wilayah Palestin yang kini diduduki atau dijajah oleh Israel, iaitu Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur membentuk satu unit wilayah yang dikawal sepenuhnya oleh Israel sedangkan jumlah penduduk Palestin hampir separuh daripada jumlah penduduk dalam semua kawasan tersebut.\nNamun demikian, di bawah undang-undang Israel secara praktiknya, warga Palestin telah dilayan secara berbeza berbanding dengan warga Yahudi Israel dalam hampir setiap aspek kehidupan seperti pemilikan rumah dan hartanah, pendidikan, kesihatan, pekerjaan, undang-undang kekeluargaan dan kebebasan bergerak. Terdapat berpuluh-puluh undang-undang dan dasar Israel yang menginstitusikan sistem diskriminasi dan penguasaan ini.\nPengasingan di antara warga Yahudi dengan Palestin dilakukan dengan melaksanakan sistem undang-undang yang berasingan untuk warga Yahudi Israel dan warga Palestin walaupun mereka tinggal di kawasan yang sama. Sebagai contoh di Tebing Barat yang diduduki dan dikawal oleh kerajaan Israel, peneroka Yahudi yang tinggal di penempatan-penempatan haram ditadbir oleh undang-undang sivil Israel, sementara rakyat Palestin yang tinggal di wilayah yang sama dikawal oleh undang-undang tentera Israel.\nDalam Israel sendiri, tidak wujud status kewarganegaraan Israel yang sama rata untuk semua warganegara. Sebaliknya, kewarganegaraan Israel dibahagikan kepada beberapa kategori. Mereka yang berada dalam kategori bangsa Yahudi akan mendapat hak dan keistimewaan yang jauh lebih baik berbanding dengan kategori lain. Bagi rakyat dalam kategori bangsa Arab, hak dan keistimewaan mereka amat terhad. Pemisahan ini menjadi lebih jelas apabila Israel meluluskan Undang-undang Negara Bangsa pada tahun 2018 (Israel Nation State Laws 2018), yang dengan rasminya mengkodifikasikan diskriminasi yang telah berlaku selama berdekad-dekad dan mengabadikan dua kelas warganegara yang berbeza, iaitu yang berbangsa Arab dan yang berbangsa Yahudi, di bawah undang-undang Israel.\nBerikut adalah beberapa bukti wujudnya amalan aparteid terhadap warga Palestin yang memenuhi kriteria aparteid di bawah Konvensyen Aparteid PBB:\nBahkan kezaliman rejim Zionis Israel dan polisi aparteidnya terhadap rakyat Palestin telah dilaporkan oleh beberapa orang pegawai PBB sendiri serta jawatankuasa dan organisasi di bawah PBB.\u00a0 Antaranya ialah Profesor Richard Falk, profesor undang-undang emeritus di Princeton University dan Pelapor Khas PBB mengenai Situasi Hak Asasi Manusia di Palestin tahun 2008-2014;\u00a0 Profesor John Dugard, profesor undang-undang dari Afrika Selatan yang menjawat jawatan Pelapor Khas PBB (sebelum Profesor Richard Falk) yang telah melakukan kajian terperinci berkenaan situasi di Palestin dan mengeluarkan laporan beliau pada tahun 2013 dan Michael Lynk, Pelapor Khas PBB untuk wilayah Palestin yang diduduki yang membuat laporan pada tahun 2019.\nJawatankuasa PBB Mengenai Penghapusan Diskriminasi Kaum juga mengecam polisi aparteid Israel pada tahun 2012.\u00a0 Pada Mac 2017, Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial PBB untuk Asia Barat (ESCWA) turut menyimpulkan berdasarkan bukti yang kukuh bahawa Israel bersalah kerana melakukan jenayah aparteid. Pada tahun 2019, Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi Kaum Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations Committee on the Elimination of Racial Discrimination atau CERD) juga menyimpulkan bahawa Israel telah melanggar Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum yang telah disahkan pada tahun 1979. Pada tahun 2020, 47 orang pakar hak asasi manusia PBB telah menandatangani satu kenyataan yang mengutuk rancangan pengilhakan Israel ke atas kawasan-kawasan di Tebing Barat kerana akan merealisasikan keadaan aparteid di Tebing Barat.\nPada tahun 2009, pasukan sarjana undang-undang antarabangsa di bawah naungan Majlis Penyelidikan Sains Manusia di Cape Town, Afrika Selatan telah menerbitkan kajian bertajuk \u201cOccupation, Colonialism, Aparteid?\u201d. Kajian tersebut juga menyimpulkan bahawa rejim Israel telah melaksanakan polisi aparteid ke atas rakyat Palestin.\nSelain itu, beberapa pertubuhan hak asasi manusia juga telah mendedahkan bahawa Israel sedang melaksanakan polisi aparteid terhadap warga Palestin. Antaranya termasuklah:\nMalangnya, walaupun terdapat bukti-bukti kukuh bahawa Israel bersalah dalam melakukan jenayah aparteid dan diperakukan oleh pelapor-pelapor PBB serta jawatankuasa dan lembaga di bawah PBB, Israel masih dibiarkan bebas melakukan jenayah ini. Faktor utamanya ialah sokongan yang diberikan kepada Israel oleh kuasa-kuasa besar dunia terutamanya EU, Britain dan AS. Perkara yang sangat menyedihkan kini, terdapat negara Islam yang sedang menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel seperti Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Oman dan Maghribi. Namun begitu, masih terdapat beberapa buah negara yang enggan mengiktiraf Israel seperti Malaysia, Algeria, Libya, Somalia, Tunisia, Venezuela, Iran, Iraq, Kuwait, Lubnan, Qatar, Saudi Arabia, Syria, Yaman, Afghanistan, Bangladesh, Maldives, Pakistan, Brunei, dan Indonesia.\nKita berbangga kerana Malaysia merupakan satu-satunya negara yang berani bersuara pada peringkat PBB bahawa Israel sedang melaksanakan polisi aparteid terhadap rakyat Palestin.\nPeranan Gerakan BDS\nKini, telah wujud satu gerakan antarabangsa yang sedang giat berusaha menjelaskan keadaan aparteid di Palestin\u00a0kepada seluruh dunia, iaitu gerakan BDS (Boycott, Divestment and Sanctions). Gerakan ini telah dimulakan di Palestin pada tahun 2005 dan telah berkembang dengan cepat di Eropah dan AS. BDS memperjuangkan hak warga Palestin secara aman dan oleh itu, sukar bagi Israel untuk mengaitkan BDS dengan kumpulan pengganas (seperti yang dilakukan terhadap kumpulan Hamas).\nIsrael merupakan sebuah negara yang tidak layak wujud di muka bumi kerana ditubuhkan melalui pencabulan hak asasi warga Palestin, amalan pembersihan etnik (ethnic cleansing) dan pembunuhan beramai-ramai (genocide). Walau bagaimanapun, masyarakat antarabangsa gagal menyedari hakikat ini kerana tidak mempunyai maklumat tentang apa-apa yang telah berlaku di Palestin pada tahun 1948. Kini, masyarakat antarabangsa berpeluang untuk melakukan perkara yang betul kerana maklumat berkenaan amalan aparteid oleh rejim Zionis Israel semakin hari semakin diketahui umum. Jika usaha gerakan BDS antarabangsa berjaya menyebarkan hakikat jenayah apartied oleh Israel, kerajaan-kerajaan di seluruh dunia bertanggungjawab memboikot Israel.\u00a0 Insya-Allah kejayaan untuk membongkar kebenaran dan mendapatkan keadilan di Palestin adalah hampir.\nProfesor Dr. Mohd Nazari Ismail, Profesor Kehormat Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya merangkap Pengerusi Boycott, Divestment and Sanctions-Malaysia (BDS) dan Palestinian Progressive Assocation-Malaysia (PPAM)." "PLUS Jalankan Penyelenggaraan Jalan Tapah \u2013 Bidor\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 PLUS dijangka akan menutup lorong kecemasan dan lorong kiri jalan laluan Tapah \u2013 Bidor arah selatan di KM338.20 hingga KM339.25 pada 27 Jun hingga 1 Julai 2022, bagi menjalankan kerja penyelenggaraan.\nSehubungan dengan itu, pengguna lebuh raya yang menggunakan laluan tersebut diminta untuk merancang perjalanan dengan lebih awal agar kesesakan trafik dapat dikawal berikutan penutupan dua lorong tersebut.\nPLUS menyatakan komited demi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya. Oleh itu, pelbagai usaha dan inisiatif sentiasa dilaksanakan bagi meningkatkan kedua-dua aspek tersebut.\n\nMenurut PLUS, penggunaan lorong kecemasan secara berkala bakal diaktifkan bergantung kepada keperluan semasa untuk memastikan trafik lancar di laluan terbabit, manakala lorong kanan pada kilometer yang sama arah selatan masih boleh digunakan oleh semua kenderaan.\nPengguna lebuh raya PLUS boleh mendapatkan maklumat trafik terkini dengan menggunakan aplikasi PLUS atau hubungi PLUSLine di talian 1800-88-0000. Pengguna juga boleh menghubungi talian yang sama sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan." "Wanita Harus Percaya pada Kekuatan dan Kemampuan Diri \u2013 Raja Puan Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menerima mengadap delegasi\ndaripada Pertubuhan Kraf Malaysia di Galeri DiRaja Arau.\nTurut berangkat sama ialah anakanda kedua baginda, Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Farah Adriana ibni Syed Faizuddin Putra Jamalullail.\nDelegasi tersebut diketuai oleh Presidennya, Nik Faiz Nik M. Amin, Ahli EXCO, Arja Lee yang juga merupakan seorang artis terkenal serta Pengurus Kreatif Pengurusan Acara dan Komunikasi [email\u00a0protected], Andy Siti Nurhidayah Rahim.\nTitah Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah selepas majlis tersebut, \u201cGolongan wanita perlu sentiasa percaya pada kekuatan dan kemampuan diri masing-masing. Untuk menjadi wanita hebat, wanita harus belajar bagaimana memperbaiki masalah sendiri tanpa bantuan orang tua, keluarga mahupun pasangan. Jangan mudah menyerah walaupun keadaan sulit. Mengatasi masalah sendiri akan membantu seseorang wanita itu lebih percaya diri dan mampu menjadi inspirasi buat wanita lain untuk melakukan perkara yang sama\u201d.\nProses untuk menjadi wanita hebat tidak mudah dan banyak perkara perlu dilakukan. Tambah Tuanku Raja Puan Muda lagi, \u201cUntuk menjadi wanita hebat dan sukses bukan hanya dipandang daripada segi kejayaan atau pangkat kerja yang dimiliki semata-mata. Hebatnya wanita itu juga apabila berjaya mendidik anak-anak sehingga sukses menjadi anak yang terbaik buat kedua-dua ibu bapa atau berjaya menjadi seorang ketua inspirasi buat pekerjanya\u201d.\nSelepas Galeri DiRaja Arau, delegasi tersebut turut melawat Kampung Way dan juga Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai Kuala Perlis." "DBP Promosikan Perkaedahan Tulisan Jawi kepada Guru di Thailand\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSelain itu, menerusi program tersebut juga diadakan Ceramah Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu yang disampaikan oleh Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi,\u00a0 Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP.\nMenurut Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP, matlamat program ini diadakan adalah untuk mempromosikan perkaedahan tulisan Jawi\u00a0 yang diselaraskan oleh DBP. Beliau juga menyatakan kesediaan DBP untuk melatih guru-guru yang terpilih untuk menjadi Munsyi Jawi di Wilayah Phuket dan wilayah lain di Selatan Thailand. Di samping mempromosikan tulisan Jawi, program itu juga ialah satu usaha yang dilaksanakan oleh DBP untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu.\nBengkel Perkaedahan Tulisan Jawi Dewan dan Ceramah Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu yang diadakan itu mendapat maklum balas yang baik dalam kalangan peserta. Yang turut hadir dalam program tersebut ialah YB Dato\u2019 Sri Hasnol Zam Zam Haji Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs." "Bilangan Warden Asrama Ditambah, Elaun Dinaikkan Mulai 1 Ogos\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Bagi tujuan penambahbaikan portfolio warden asrama di 1874 buah sekolah berasrama, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan pertambahan warden asrama sebanyak 63 peratus, iaitu 3813 orang daripada 6055 orang kepada 9868 orang.\nMenurut KPM, inisiatif ini dapat membolehkan pelaksanaan penggiliran bertugas kepada warden asrama di semua sekolah berasrama.\nSelain itu, kadar Elaun Warden Asrama (EWA) turut dinaikkan sebanyak 25 peratus yang akan berkuat kuas pada 1 Ogos 2022.\nDengan kadar baharu tersebut, EWA bagi Ketua Warden adalah sebanyak RM350 sebulan dan RM300 sebulan bagi Warden Asrama.\nDalam kenyataan media pada hari ini, KPM menyatakan bahawa kadar EWA kali terakhir disemak adalah pada tahun 1997.\nPertambahan bilangan warden asrama dan kenaikan kadar EWA ini melibatkan implikasi kewangan tambahan berjumlah RM18 990 480 setahun.\n\u201cKPM ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) atas kelulusan permohonan penambahan jumlah warden dan kenaikan kadar EWA ini,\u201d kata KPM dalam kenyataannya pada hari ini." "Malam Wartawan Malaysia 2022: Pengiktirafan Tertinggi buat Pengamal Media\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Malam Wartawan Malaysia (MWM 2022) dan penganugerahan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2021 (HKM 2021) kepada pengamal media yang bergerak aktif melabuhkan tirainya malam tadi menyaksikan 42 orang calon diumumkan sebagai pemenang hadiah Emas, 46 calon pemenang Perak, 26 calon pemenang Gangsa dan dua orang pemenang Anugerah Khas.\nAnugerah Khas dimenangi oleh Penasihat Kumpulan, Star Media Group, Datuk Seri Wong Chun Wai. Seorang lagi menerima anugerah yang sama ialah penulis prolifik, ahli Lembaga Pengarah Sarawak Media Group, serta penulis majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),\u00a0Dr. Jeniri Amir.\u00a0 Kedua-duanya menerima wang tunai sebanyak RM5000 bersama trofi dan sijil penghargaan. Setiap pemenang HKM 2022 membawa pulang wang tunai yang bernilai antara RM1000 hingga RM10 000.\nSebelum itu, Malaysian Press Institute (MPI) dalam kenyataannya menerima sebanyak 350 penyertaan HKM 2021 dan sebanyak 116 calon pemenang disaring untuk diberikan pengiktirafan pada majlis gilang-gemilang, malam tadi di Hotel Shangri-La.\nKetua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya berkata, penilaian penentuan pemenang dikendalikan sepenuhnya oleh panel hakim bebas yang terdiri daripada wartawan veteran yang tidak terikat dengan mana-mana organisasi berita dan ahli akademik dalam bidang kewartawanan dari universiti awam dan swasta. MPI bertindak sebagai fasilitator atau pemudah cara penyertaan.\nPenyertaan HKM 2021 mencatatkan 35 peratus peningkatan, iaitu sebanyak 350 penyertaan berbanding dengan tahun 2020, iaitu sebanyak 228 penyertaan. Keadaan ini membuktikan bahawa kesediaan pengamal media untuk berdaya saing secara sihat dengan mempertaruhkan penulisan dan pelaporan sepanjang tahun 2021 melalui HKM 2021 kekal membara.\nKepantasan menyalurkan berita seiring dengan fakta sahih dan tepat dalam usaha mengekang penyebaran berita palsu, selain penggunaan pelbagai teknologi digital dalam pengumpulan dan penyebaran maklumat mengikut kitaran 24 jam sehari dan 356 hari setahun adalah antara cabaran utama yang perlu didepani oleh kelompok wartawan profesional hari ini. Demikian menurut Datuk Dr. Chamil.\nLebih membanggakan MPI, penyertaan tahun ini tidak lagi dikuasai dan dimonopoli oleh media legasi atau tradisional tetapi disaingi oleh media di alam maya. Hal ini menggambarkan perubahan landskap baharu media dan kewartawanan di negara ini.\nMenurut Datuk Dr. Chamil, karya yang dihantar untuk menyertai HKM tidak lagi berdasarkan media tradisional atau digital, tetapi berdasaran platform. Hal ini demikian kerana produk berita di alam nyata juga kini mampu diakses dalam talian.\nBagi meraikan sumbangan dan sebagai penghargaan terhadap pengamal media yang bertungkus-lumus menyajikan dan memaparkan berita, majlis kemuncak MWM 2022 memperlihatkan konsep baharu penyampaian anugerah, iaitu pemenang diumumkan oleh penerima Hadiah Kajai pada tahun-tahun sebelumnya sejak acara ini dianjurkan. Jika sebelum ini pemenang akan diumumkan oleh pengacara majlis, tetapi pada tahun ini sedikit perubahan dibuat untuk memberikan kelainan pada penyampaian anugerah kewartawanan yang paling berprestij ini.\nDalam majlis yang sama, Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Datuk Johan Jaaffar diundang sebagai tetamu kehormat dan diberikan penghargaan untuk melancarkan Malam Kemuncak MWM 2022.\nTurut hadir sama memeriahkan majlis, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Hiliran Petronas, Datuk Sazali Hamzah yang mewakili Petronas selaku penaja utama HKM 2021, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, dan orang kenamaan yang lain.\nPetronas menjadi penaja utama HKM kepada pemenang sejak tahun 1994 dengan nilai tajaan terkini berjumlah RM300 000.\nMajlis turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian dua orang bintang legenda negara, Anuar Zain dan Ella yang dibawakan khas oleh MPI." "Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan dan Padang SK Putrajaya Presint 18(2)\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan dan Padang serta perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18(2) ke-10 pada hari ini.\nDalam majlis tersebut, Dr. Radzi Jidin berkata, penambahan sekolah baharu perlu dilaksanakan setelah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati jumlah penduduk di sesetengah kawasan perumahan semakin meningkat dengan mendadak dan pembangunan perumahan di kawasan tersebut berlaku dengan cepat.\nMenurut Dr. Radzi Jidin, KPM memberikan keutamaan untuk membuka sekolah baharu di kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi seperti di Klang, Selangor dan beberapa buah kawasan di Johor.\nSelain itu, KPM juga sedang berusaha mencari lokasi yang sesuai untuk pembinaan sekolah baharu di kawasan-kawasan tersebut memandangkan kesukaran mendapatkan tanah merupakan antara kekangan yang sedang dihadapi oleh KPM.\n\u201cKPM juga mengambil pendekatan dengan memberikan tumpuan untuk membina sekolah baharu di kawasan-kawasan ini dengan purata 10 buah sekolah baharu dibina setiap tahun,\u201d kata Dr. Radzi Jidin\nSehubungan dengan itu, pembinaan sekolah baharu akan mengurangkan tekanan dan kepadatan pelajar yang dihadapi oleh sekolah-sekolah yang telah sedia ada, khususnya sekolah rendah.\n\u201cBeberapa usaha telah dilakukan oleh KPM untuk mewujudkan sekolah-sekolah baharu di kawasan ini. Walau bagaimanapun, isu mencari dan mendapatkan tanah yang sesuai di kawasan-kawasan yang padat dengan penduduk ini menjadi kekangan utama KPM,\u201d ujar Dr. Radzi Jidin.\nJelas Dr. Radzi Jidin lagi, kawasan yang dipilih untuk dibina sekolah baharu perlulah bersesuaian, strategik dan berdekatan dengan kawasan perumahan di samping laluan masuk ke kawasan sekolah yang mudah untuk para guru dan kakitangan sekolah, pelajar dan ibu bapa.\nDalam majlis yang sama, Dr. Radzi Jidin turut menyatakan bahawa KPM akan mengkaji kurikulum pendidikan sekolah rendah yang didakwa beraras tinggi dan sukar bagi pelajar untuk menguasai subjek tertentu.\n\u201cSehubungan dengan itu, semakan semula kurikulum sekolah rendah dan menengah akan dilaksanakan berikutan pusingan pertama Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) tamat pada tahun ini, manakala Kurikulum Standard Sekolah Menengah(KSSR) pula telah tamat pada tahun lepas,\u201d jelas Dr. Radzi Jidin." "Pencarian Maklumat Secara Konvensional Masih Relevan \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa kepesatan dan percambahan maklumat pada hari ini telah mencetuskan pelbagai idea baharu dalam merekabentuk peralatan peranti terkini. Pencarian maklumat secara konvensional biarpun dianggap sebagai ketinggalan oleh segelintir pihak, tetapi jika diamati secara mendalam, hal tersebut masih kekal relevan.\n\u201cBegitulah juga dengan perpustakaan yang tetap relevan walaupun pelbagai teknologi terkini telah tercipta seperti bacaan melalui e-buku dan sebagainya. Namun begitu, perpustakaan tetap boleh menggunapakai platform ini sebagai sebahagian daripada komponen maklumat dalam usaha untuk menyebarluaskan ilmu pengetahuan\u201d, demikian titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan \u201cPesta Buku Perlis dan Karnival Pembaca 2022\u201d yang diadakan di Ruang Pinjaman Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis di Kangar.\nBerangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis,Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.\nKeberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Puan Salasiah Abdul Wahab dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, Tuan Azizi Janan.\nMenurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, majlis berkenaan merupakan satu lagi bentuk usaha dalam meningkatkan penguasaan membaca dan mendidik masyarakat supaya terus cinta akan ilmu pengetahuan. Program ini juga boleh dijadikan sebagai contoh atas usaha yang dilakukan oleh perpustakaan di negara ini sejak sekian lamanya.\nBaginda percaya, hal tersebut bukan sahaja memberi impak yang tinggi kepada perpustakaan, tetapi kepada semua pihak yang telah menjadi nadi yang menggerakkan Pesta Buku ini sehingga dapat dianjurkan saban tahun. Pada tahun 2020, difahamkan sebanyak 28 568 pengunjung dari dalam dan luar Perlis telah hadir ke Pesta Buku dan Karnival Buku Perlis, sama ada untuk mendapatkan bahan bacaan ataupun menyertai aktiviti yang diadakan.\nTuanku Raja Muda turut mengcapkan syabas kepada pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis atas usaha yang telah dilaksanakan sepanjang tahun dengan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada semua golongan masyarakat tanpa meminggirkan mana-mana golongan dan berharap seluruh masyarakat dapat mengambil peluang untuk turut serta melibatkan diri dalam program-program galakan membaca anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis yang memberikan manfaat kepada semua golongan. Dengan suasana baharu perpustakaan yang telah ditambah baik, lebih kondusif dan selesa, baginda percaya perkara ini juga menjadi faktor pendorong masyarakat untuk melawat ke perpustakaan bertepatan dengan slogan \u201cSejenak di Perpustakaan, Selautan Ilmu Pengetahuan\u201d.\nTuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan meluangkan masa melawat gerai pameran dan aktiviti serta melawat \u201cMy Mobile Planetarium\u201d yang disediakan oleh pihak penganjur." "Raja Perlis Sempurnakan Pelancaran Buku Grit and Gumption \u2013 The Yusuf Brothers of Penang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran buku Grit and Gumption \u2013 The Yusuf Brothers of Penang di The Grand Ballroom, Hotel Shangri La, Kuala Lumpur pada malam semalam.\nKeberangkatan tiba baginda dan Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku FauziahAlmarhum Tengku Abdul Rashid disambut oleh Tan Sri Dato\u2019 Seri Haji M. Ariffin Yusuf dan abangnya Datuk Zain Yusuf serta ahli keluarga beliau.\nBerangkat sama, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.\nTurut hadir, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran.\nDalam majlis tersebut, Tuanku Raja menitahkan ucapan tahniah dan ucapan \u201cSelamat Maju Jaya\u201d atas kejayaan menerbitkan buku autobiografi mengenai pengalaman, cabaran dan kejayaan hidup M. Ariffin dan ahli keluarga A.G. Yusuf.\nDYMM Tuanku Syed Sirajuddin yang sudah lama mengenali keempat-empat adik-beradik Yusuf Brothers ini bertitah bahawa buku ini sangat menarik untuk dibaca dan segala pengalaman dan cabaran yang dilalui oleh Yusuf Brothers ini boleh dijadikan sebagai inspirasi dan teladan yang baik.\nTitah baginda, \u201cSecara sepintas lalu buku yang mengisahkan riwayat hidup keluarga A.G Yusuf ini sangat menarik. Buku ini mengandungi penceritaan setiap seorang ahli keluarga sejak kecil sehingga dewasa secara individu, hubungan kekeluargaan, cabaran semasa alam kerjaya, perniagaan, penglibatan aktiviti sosial dan kebajikan masing-masing. Kesemua keluarga Yusuf ini telah berusaha dengan gigihnya untuk mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi masing-masing\u201d.\nBaginda turut berseloroh tentang Tan Sri Dato\u2019 Seri Haji M. Ariffin yang lebih rapat dengan baginda berbanding dengan adik-beradiknya yang lain walaupun baginda mengenali dua orang lagi abangnya sejak zaman persekolahan di Sekolah Menengah Penang Free, kerana beliau berkahwin dengan Puan Sri Datin Seri Abedah Seman, iaitu seorang rakyat dari negeri baginda." "Kadet PTD Terokai Fungsi DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebanyak 10 orang peserta Program Diploma Pengurusan Awam Institut Tadbiran Awam Negara (DPA INTAN) bersama-sama pegawai kementerian mengadakan kunjungan lawatan kerja ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi mengenali dan memahami fungsi DBP sebagai sebuah badan yang berperanan penting dalam mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu, hari ini.\nSesi lawatan kerja ini merupakan satu daripada aktiviti berkala yang dilaksanakan oleh INTAN kepada peserta DPA atau lebih kenali sebagai Kadet Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) untuk memberikan pendedahan awal terhadap budaya kerja perkhidmatan awam, khususnya agensi di bawah kementerian.\nSepanjang dua jam program berlangsung di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP, Kadet PTD diberi sesi taklimat tentang DBP, antara inti patinya termasuklah sejarah penubuhan, perkhidmatan dan produk yang ditawarkan serta cabaran DBP mengharungi peredaran zaman tatkala menuju ke era teknologi pendigitalan.\nKetua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani Omar mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para peserta DPA yang terlibat dalam lawatan kerja tersebut, seterusnya mengharapkan agar pelibatan hubungan dua hala dalam memartabatkan bahasa Melayu terus disokong dan dipergiat.\nMenurut beliau, JendelaDBP merupakan satu produk inovasi yang dibangunkan pada tahun 2021 rentetan pandemik COVID-19, sebagai wadah ilmu untuk masyarakat mengakses produk DBP, lantas menjadi pusat rujukan umum yang bermanfaat.\nMengulas lebih lanjut, Ketua Editor Bahagian Multimedia, Naimah Yusof turut memaklumkan bahawa JendelaDBP dibangunkan bagi menyebarluaskan pelbagai produk penerbitan bahasa, sastera, persuratan Melayu dan budaya dalam bentuk digital yang bersesuaian dengan perkembangan semasa.\nDalam kunjungan hormat tersebut, Perancang Bahasa dari Bahagian Komunikasi dan Korporat, Rabi\u2019ahtuladawyah Md. Saleh memberikan taklimat tentang korporat DBP, di samping menjelaskan signifikannya DBP dalam memperkasa dan mendaulat bahasa pada peringkat tertinggi.\nSementara itu, Perancang Bahasa dari Bahagian Perkamusan, Hairani Mohd. Khalid turut mempromosikan Kamus Dewan Perdana, yakni merupakan kamus baharu bahasa Melayu yang terbesar dan terlengkap dengan mempunyai 120 ribu entri dan subentri, serta berdasarkan lebih daripada 113 juta kata dalam data korpus DBP.\nDalam sesi taklimat terakhir, Perancang Bahasa dari Akademi DBP, Dr. Syaidul Azam Kamarudin menerangkan tentang keistimewaan Akademi DBP yang menyediakan tawaran kursus bahasa, sastera, penerbitan, teknologi maklumat, pentadbiran dan pengurusan serta kursus umum.\nSelain daripada kunjungan ke Anjung DBP, rombongan Kadet PTD yang diketuai oleh Tijana Ayob, Pegawai Bahagian Pengurusan Sumber Manusia INTAN turut tidak melepaskan peluang untuk memasuki konti DBP bagi menimba ilmu dan merasai pengalaman sebagai pengacara atau penyampai, di samping memastikan penggunaan bahasa Melayu yang betul." "Program Titian Kasih Membina Mentaliti Kelas Pertama \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 \u201cIlmu yang dikongsikan dalam program Titian Kasih menekankan kepentingan mentaliti kelas pertama dalam segala tindakan dan sangat penting bagi melahirkan masyarakat yang responsif terhadap persekitaran dan kesejahteraan hidup,\u201d titah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan menyempurnakan perasmian pembukaan Webinar Siri ke-10 Yayasan Tuanku Fauziah: Program Titian Kasih, yang berlangsung pada hari ini.\n\nPada masa yang sama, baginda menitahkan bahawa program sebegini dapat mendekatkan lagi diri dengan para pelajar dalam memberikan nasihat dan menyatakan harapan agar pelajar mampu menguasai ilmu di sekolah,\u00a0 menjadi lebih fokus dan peka akan ilmu yang dikongsikan dalam program ini.\nRaja Muda Perlis yang merangkap Penasihat Diraja Yayasan Tuanku Fauziah dan Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra berharap agar pelajar dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengisian Program Titian Kasih oleh ahli panel, memandangkan ilmu asas ini tidak sepenuhnya dipelajari di dalam kelas dan perlu diterapkan dalam pemikiran masing-masing.\nBaginda turut bertitah,\nProgram Titian Kasih ini merangkumi ilmu pelajaran asas yang perlu diketahui dalam mengharungi liku kehidupan. Bersandarkan ilmu yang diperoleh pada peringkat sekolah dan yang disampaikan melalui program ini, diharapkan pelajar mengambil peluang yang ada untuk meningkatkan kualiti ilmu dan sentiasa berfikiran terbuka, serta berlapang dada dalam kehidupan kelak.\nProgram Titian Kasih dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Naharudeen Othman. Antara pengisian yang menarik dalam program ini termasuklah Sukan Membina Kehidupan Cemerlang; Bencana Alam dan Pengurusan Risiko; Bahaya Najis Dadah; Pencegahan Jenayah; Kesihatan Sepanjang Hayat; dan Sahsiah Cemerlang Pelajar Terbilang.\nProgram ini dilaksanakan secara dalam talian melalui siaran langsung di YouTube SSTP JPN Perlis, bermula pada pukul 2.00 petang hingga 6.00 petang. Pada akhir program tersebut, majlis perasmian penutupan disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil." "Ganja di Thailand: Antara Kebebasan dengan Kebimbangan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada pagi 9 Jun 2022, sebuah kafe di Bangkok, Thailand, diserbu orang ramai. Jumlah pelanggan yang datang berganda daripada sebelumnya. Mereka kelihatan riang gembira, ada juga yang bersorak seperti tidak sabar untuk memesan minuman berperisa ganja. Ya, ganja!\nSorakan itu sebagai simbolik kepada tarikh bersejarah yang menarik perhatian seluruh dunia apabila Thailand dengan rasminya membenarkan penduduknya menanam pokok ganja di rumah untuk kegunaan bahan makanan atau minuman selain menghisapnya di rumah sendiri.\nKegembiraan itu juga diraikan lebih daripada 3000 orang yang menyertai pesta ganja berikutan keputusan kerajaan Thailand melonggarkan undang-undang berkaitan dadah. Pesta anjuran Highland Network yang berlangsung di White Sands Beach di timur Bangkok menyaksikan pelbagai barangan dijual termasuk baju, peralatan menghisap ganja serta makanan berasaskan ganja.\nKini, ganja telah dikeluarkan daripada senarai narkotik berbahaya dan dibenarkan penanaman serta pemilikannya, malah pada Mei lalu, Jabatan Pertanian Thailand turut mengedarkan sejuta pokok ganja kepada 500 ribu isu rumah yang berminat untuk menanam pokok tersebut.\nPenanam ganja hanya perlu berdaftar menerusi aplikasi kerajaan, iaitu PlookGanja yang bermaksud \u201ctanam ganja\u201d. Yang menariknya, semenjak PlookGanja dibuka untuk pendaftaran secara dalam talian, Pegawai Kementerian Kesihatan negara tersebut merekodkan terdapat lebih daripada 150 ribu orang yang mendaftar.\nMenurut Menteri Kesihatan, Anutin Charnvirakul, keputusan menghalalkan ganja di negara gajah putih itu membawa dimensi baharu dalam sejarah ganja di Thailand. Beliau yang menerajui usaha menghalalkan penanaman ganja dan rami buatan sendiri percaya bahawa semua pihak perlu memahami titik perubahan tersebut dan perlu bergerak ke hadapan bersama-sama, selain menjelaskan bahawa keputusan tersebut membolehkan para petani menambah pendapatan mereka.\nPerkembangan itu dijangka akan membawa kepada penawaran ganja dalam perubatan bagi merawat pelbagai penyakit secara besar-besaran oleh klinik di Thailand, manakala kebanyakan restoran turut dijangka akan menyajikan pelbagai hidangan serta minuman yang mengandungi ganja, dengan kurang daripada 0.2 peratus tetrahydrocannabinol (THC) \u2013 sebatian psikoaktif yang memberikan sensasi \u201ctinggi\u201c kepada pengguna.\nWalaupun langkah itu dikatakan bertujuan untuk memperkukuh sektor pertanian lebih-lebih lagi apabila banyak negara dijangka bakal melonggarkan undang-undang berkaitan penggunaan ganja bagi perubatan atau peribadi, dari satu sisi, usahawan Thailand dilihat mengorak langkah lebih awal untuk menjadi gergasi pasaran ganja susulan liberalisasi penggunaan bahan mengkhayalkan itu. Selain itu, keputusan itu juga bakal merancakkan lagi industri pelancongan di negara terbabit, namun larangan menggunakan ganja untuk kegunaan rekreasi dan pengeluaran apa-apa sahaja produk, makanan atau minuman yang mempunyai lebih daripada 0.2 peratus THC dilihat sebagai masih mengehadkan perdagangan ganja secara menyeluruh.\nDi dunia, hanya tiga buah negara yang menghalalkan ganja, iaitu Uruguay, Kanada dan Thailand. Perkembangan ganja di Thailand itu ternyata menarik perhatian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang meminta kerajaan Thailand mengemukakan alasan yang kukuh berhubung tindakan negara tersebut mengeluarkan ganja daripada senarai bahan narkotik berbahaya.\nPenasihat Lembaga Kawalan Narkotik Antarabangsa (INCB), Viroj Sumyai berkata, PBB juga akan meneliti draf undang-undang berkaitan ganja yang digubal oleh Thailand. Jelas beliau, sekiranya negara tersebut didapati melanggar Konvensyen 1961 mengenai narkotik, Thailand perlu memperbetulkan kekhilafan itu dan membuat laporan semula.\nJika langkah ini tidak dilaksanakan, INCB akan mendapatkan resolusi daripada Perhimpunan Agung PBB (UNGA). Sekiranya didapati kawasan penanaman ganja di Thailand boleh membawa kepada kegiatan perdagangan haram narkotik, PBB akan memaklumkan perkara itu kepada Majlis Ekonomi dan Sosial. Seluruh dunia akan dimaklumkan menerusi laporan tahunan bahawa Thailand sudah melanggar perjanjian narkotik antarabangsa\nINCB turut mengakui terdapat kebimbangan mengenai kesan buruk akibat dasar berkenaan kerana Thailand merupakan satu daripada negara yang memeterai perjanjian berkaitan dengan narkotik pada tahun 1961. Di bawah perjanjian itu, ganja diklasifikasikan sebagai bahan terlarang, namun penggunaannya dibenarkan bagi tujuan perubatan dan berada di bawah pengawasan pihak berkuasa. Meskipun dasar membenarkan penggunaan ganja adalah untuk tujuan perubatan dan kajian, rang undang-undang mengenainya masih belum diluluskan.\n\u201cDisebabkan rang undang-undang itu masih belum diluluskan, Kementerian Luar Thailand bimbang kerana perlu menjelaskan perkara itu kepada INCB dan negara Asia Tenggara lain. Terdapat juga persoalan berbangkit mengenai bagaimana untuk menghalang kemasukan ganja dari Thailand ke negara jirannya serta kesan daripada dasar \u2018menghalalkan\u2019 ganja,\u201c kata INCB dalam satu kenyataan.\nPada 26 Jun 2022, menurut Bangkok Post majoriti rakyat Thailand yang mengikuti satu kaji selidik menyatakan kebimbangan mereka mengenai kesan ganja dikeluarkan daripada senarai narkotik. Kaji selidik tersebut dijalankan oleh Universiti Suan Dusit Rajabhat, Bangkok, pada 20 hingga 23 Jun terhadap 2390 orang dari seluruh negara secara dalam talian dan mendapati bahawa sebanyak 70.63 peratus \u201cberasa bimbang\u201d dengan keputusan kerajaan Thailand itu; sebanyak 37.78 peratus \u201cagak bimbang\u201c; dan 32.85 peratus lagi \u201csangat bimbang\u201c. Hanya sebanyak 16.27 peratus menjawab \u201csedikit bimbang\u201c, manakala 13.10 peratus \u201ctidak bimbang langsung\u201c.\nDitanya apakah yang membuatkan mereka khuatir tentang pelonggaran undang-undang berkaitan dengan ganja? Sebanyak 84.58 peratus menjawab orang ramai masih kekurangan pengetahuan untuk penggunaan ganja yang betul; sebanyak 82.16 peratus menjawab ganja akan mudah diakses oleh kanak-kanak dan remaja yang sekadar mahu mencuba; dan sebanyak 73.73 peratus berkata masih tiada garis panduan praktikal yang jelas atau undang-undang tentang penggunaannya.\nBerkait dengan cadangan bagaimana peraturan yang sepatutnya dilakukan, sebanyak 88.38 peratus berkata remaja tidak boleh dibenarkan mencubanya dan semua institut pendidikan perlu bebas ganja; sebanyak 82.26 peratus berkata perlu diberikan amaran yang menentang penggunaannya terutama dalam makanan; dan sebanyak 81.67 peratus berkata pengiklanan produk berasaskan ganja perlu disekat.\nDi Malaysia, ganja merupakan bahan terlarang. Maka itu, sebagai negara jiran kepada Thailand, penghapusan ganja daripada senarai narkotik dan membenarkan rakyat negara itu menanam tumbuhan tersebut di rumah, dibimbangi akan meningkatkan risiko penyeludupan ganja ke negara ini. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, keputusan Thailand itu secara langsung turut menimbulkan keghairahan kepada tokan tempatan untuk mendapatkan bekalan dari negara berkenaan. Susulan itu kata Ayob Khan, polis akan melipatgandakan kawalan di kesemua pintu sempadan Malaysia-Thailand termasuk memantau pergerakan yang mencurigakan membabitkan cubaan penyeludupan ganja.\nKeputusan muktamad membenarkan rakyat Thailand menanam ganja sudah pun dimuktamadkan, difahamkan pokok ganja mempunyai tempoh matang antara empat hingga sembilan bulan sebelum dituai untuk digunakan. Pastinya banyak kajian akan dilakukan berhubung dengan keputusan tersebut, sama ada keputusan tersebut tepat ataupun sebaliknya hanya akan diketahui tidak lama lagi, iaitu selepas ganja yang ditanam mula digunakan." "Program HASiL Kasih Prihatin 2022 Memperkasa Pembelajaran Murid SK Mabul\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSemporna \u2013 Pembelajaran murid Sekolah Kebangsaan (SK) Mabul diperkasakan menerusi Program HASiL Kasih Prihatin 2022 anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL). Program yang digerakkan oleh Pejabat Pengarah Negeri Sabah (PPNS) dengan kerjasama Kor Penyelaras Pasukan Beruniform (KPPU) dan Kelab Penyelam HASiL (HASiL Divers) ini dilaksanakan sebagai menjunjung prinsip kemakmuran negara yang sewajarnya dinikmati bersama. Dalam program tersebut, sumbangan berupa dua unit komputer riba, seunit mesin cetak, seunit projektor, seunit papan tanda baharu nama sekolah, dua unit kipas industri dan 10 kotak kertas A4 telah diserahkan sebagai usaha untuk membantu menaik taraf kemudahan pembelajaran di sekolah berkenaan. Turut disumbangkan oleh HASiL ialah 250 unit beg sekolah baharu dan 300 pek makanan untuk dimanfaatkan oleh semua murid dan guru di sekolah tersebut.\nPerasmian program dan penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Mohd Nizom bin Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL. Dalam ucapan perasmiannya, beliau memaklumkan bahawa program CSR HASiL pada kali ini menumpukan kepada tiga aktiviti utama, iaitu:\n(a) CSR Marin yang memberikan fokus kepada kelestarian hidupan laut;\n(b) CSR Komuniti yang menyasarkan kesejahteraan komuniti setempat; dan\n(c) CSR SK Mabul yang berorientasikan pembangunan pembelajaran murid.\nProgram ini juga membuktikan bahawa peranan dan tanggungjawab Keluarga HASiL tidak hanya terhad kepada mentadbir cukai langsung semata-mata, sebaliknya HASiL turut berperanan membantu masyarakat menerusi program kesedaran dan pendidikan sekali gus mampu memberikan kesan kepada peningkatan pematuhan cukai secara sukarela di negara ini.\nTambah beliau lagi, pelaksanaan serta penganjuran berterusan program seperti ini merupakan tanda sokongan padu HASiL kepada pembangunan modal insan termasuklah masyarakat luar bandar. Selain itu, program tersebut juga merupakan salah satu pendekatan strategik HASiL dalam mendekatkan diri kepada masyarakat.\nHadir bersama-sama menjayakan program ini ialah barisan pengurusan tertinggi HASiL, iaitu YBrs. Encik Abu Tariq bin Jamaluddin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan), YBhg. Datuk Hajam bin Lajah Alam, Pengarah Negeri Sabah, Tuan Haji Mohd Yusof bin Jalal, Ketua Kampung Pulau Mabul dan Encik Lawaddin bin Jammaal, Guru Besar SK Pulau Mabul." "Organisasi Disaran Sediakan Perkhidmatan Terbaik Demi Keperluan Pelanggan \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Fasa peralihan ke endemik kini telah merangsang kembali dunia untuk terus berkembang semula. Oleh itu, setiap agensi dan organisasi baik awam mahupun swasta disarankan supaya berusaha keras dalam mempromosi perkhidmatan masing-masing secara berterusan dan pada masa yang sama mempertingkatkan kualiti, kecekapan dan keberkesanannya kepada masyarakat dan para pelanggan walau dalam apa jua keadaan sekalipun dengan mengambil kira kemudahan teknologi kini. Jika segala perkhidmatan yang tersedia tidak digunakan semaksimum mungkin, hal ini akan menyumbang kepada suatu pembaziran.\nSetiap organisasi juga perlu sentiasa berusaha menyediakan perkhidmatan yang terbaik demi memenuhi keperluan pelanggannya bagi mengelakkan sebarang kecaman dan tanggapan negatif masyarakat terhadap perkhidmatan yang disediakan.\nDemikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat singgah menyempurnakan perasmian Projek Usahawan Asnaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), iaitu perniagaan \u201cMarjrod Food Truck\u201d yang diusahakan oleh Mohd Marzulrizal Mohmad Zuki, 31 tahun dari Kampung Sentua Utan Aji. Beliau telah menerima sumbangan berjumlah RM2,000 daripada pihak Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) untuk membeli mesin pengadun bagi membuat donut dan kerusi keluli tahan karat, baru-baru ini.\nPerasmian tersebut diadakan sempena program Kayuhan MAIPs Peduli yang diketuai oleh baginda sendiri yang turut diiringi pihak pengurusan tertinggi Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd serta wakil-wakil dari Malaysia Teqball Association (MTA) dan juga Ultimate Fighting Championship (UFC) Malaysia.\nPada masa yang sama Tuanku Raja Muda turut berkenan singgah bagi menyempurnakan penyampaian agihan sumbangan zakat MAIPs kepada tiga orang asnaf terpilih, iaitu Bakrimar Abu Bakar dari Kampung Behor Lateh, Ramli Hashim dari Kampung Titi Serong dan Aziz Ibrahim dari Kampung Titi Tok Bandar di rumah masing-masing. Pihak Al Ikhsan, MTA dan UFC Malaysia juga turut menyerahkan sumbangan tanggungjawab korporat sosial (CSR) ikhlas mereka kepada golongan yang memerlukan tersebut." "Antara \u201cMengundang\u201c dengan \u201cMenjemput\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata mengundang dan menjemput merupakan dua patah perkataan yang mempunyai hubungan yang agak istimewa, iaitu dalam persamaan terdapat perbezaan.\u00a0 Jika kita merujuk kamus bahasa Melayu, seperti Kamus Pelajar Bahasa Melayu Dewan Edisi Kedua, Kamus Dewan Edisi Keempat dan Kamus Dewan Perdana, kita akan mendapat gambaran maksudnya yang sekata.\nMenurut kamus-kamus tersebut, kata mengundang dan kata menjemput mempunyai persamaan dari segi maksud \u201cmenyilakan atau mempersilakan seseorang untuk menghadiri sesuatu majlis, perayaan, perjumpaan, dan sebagainya\u201d.\u00a0 Padanan kata bahasa Inggeris bagi maksud mengundang dan menjemput ini ialah invite. Sila lihat contoh penggunaannya yang berkaitan, iaitu:\n1a.\u00a0 Dia mengundang/menjemput tetamu ke majlis perkahwinannya.\n1b.\u00a0 Dia telah menghantar kad undangan/jemputan kepada para tetamu.\n1c.\u00a0 Ramai undangan/jemputan menghadiri majlis perkahwinannya.\nWalau bagaimanapun, kata menjemput juga mendukung maksud lain. Sila lihat contoh yang berikut:\n2a.\u00a0 Dia menjemput pelancong asing di lapangan terbang.\n2b.\u00a0 Dia menjemput anaknya di sekolah.\n2c.\u00a0 Dia menjemput kuih yang dihidangkan oleh tuan rumah.\nDalam ayat 2a dan 2b di atas, kata menjemput bererti \u201cmenyambut ketibaan seseorang atau mengambil seseorang\u201d. Padanan kata bahasa Inggeris bagi maksud menjemput tersebut ialah fetch. Dalam ayat 2c pula, kata menjemput bererti \u201cmengambil sesuatu dengan hujung jari, atau mencekut\u201d.\nHubungan makna antara kata mengundang dengan kata menjemput dalam konteks ayat di atas dapat digambarkan secara grafik seperti yang berikut:\n\n\u00a0\nBerdasarkan gambar rajah di atas, ternyata bahawa maksud kata mengundang merupakan subset bagi set pengertian kata menjemput yang lebih besar. Walau bagaimanapun, menurut Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, kata mengundang dan menjemput lebih sesuai digunakan dalam konteks yang berikut:\nJika kita menghalusi kata undang dengan jemput lagi, kita akan mendapati wujudnya perbezaan lain.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\n3a.\u00a0 Jemput minum teh yang terhidang.\n3b.\u00a0 *Undang minum teh yang terhidang.\n4a.\u00a0 Terdapat empat orang undang di Negeri Sembilan.\n4b.\u00a0 *Terdapat empat orang jemput di Negeri Sembilan.\n5a.\u00a0 Kecuaiannya mengundang masalah dan bahaya.\n5b.\u00a0 *Kecuaiannya menjemput masalah dan bahaya.\n6a.\u00a0 Dewan undangan negeri ini telah dibubarkan.\n6b.\u00a0 *Dewan jemputan negeri itu telah dibubarkan.\n7a.\u00a0 Dia telah menyalahi undang-undang.\n7b.\u00a0 Dia makan jemput-jemput dengan penuh berselera.\nDalam ayat 3a di atas, kata jemput ialah kata silaan yang sama ertinya dengan kata sila. Oleh itu, kata itu tidak dapat diganti dengan kata undang. Dalam ayat 4a, kata undang bererti \u201cpembesar adat\u201d, dan tidak boleh diganti dengan kata jemput.\u00a0 Dalam ayat 5a, kata mengundang berkonotasi kiasan \u201cmendatangkan\u201d, dan tidak dapat diganti dengan kata menjemput. Dalam ayat 6a, kata undangan bererti \u201cyang menggubal undang-undang\u201d, dan tidak boleh diganti dengan kata jemputan. Dalam ayat 7a, kata undang-undang bererti \u201csusunan peraturan dan ketentuan\u2019, manakala dalam ayat 7b, kata jemput-jemput bererti \u201csejenis kuih yang dibuat daripada adunan tepung dengan pisang, gula, dan sebagainya (atau tepung dengan bawang, garam dan sebagainya) yang digoreng\u201d. Oleh itu, kata undang-undang dan kata jemput-jemput tidak boleh bertukar ganti.\nSelain kata mengundang dan menjemput, terdapat juga kata lain yang mendukung makna \u201cmempersilakan\u201d. Sila lihat contoh yang berikut:\n8a.\u00a0 Dia mengajak kawannya untuk ke kantin.\n8b.\u00a0 Dia mempelawa kawannya untuk berkelah.\nKata mengajak atau mempelawa dalam kelompok ayat 8 di atas bererti \u201cmempersilakan untuk pergi bersama-sama\u201d. Sinonim lain ialah kata semawa. Oleh itu, terdapat perbezaan antara maksudnya dengan maksud kata mengundang dan menjemput.\nSelain itu, kata mengajak dan mempelawa mendukung maksud yang lain. Sila lihat contoh yang berikut:\n10a.\u00a0 Jabatan itu mempelawa pemohon untuk mengisi beberapa jawatan\nkosong.\n10b.\u00a0 Sebut harga dipelawa daripada syarikat yang berminat untuk\nmembekalkan komputer.\nDalam ayat 9, kata mengajak bererti \u201cmerangsang atau mencabar seseorang untuk melakukan sesuatu\u201d. Dalam kelompok ayat 10, kata mempelawa dan dipelawa merupakan istilah yang berkaitan dengan sesuatu jawatan yang perlu diisi atau sesuatu kerja yang perlu dilaksanakan." "PERPUSTAM Anjur Program Komuniti Merakyatkan Perpustakaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMelaka \u2013 Sebagai usaha menggalakkan amalan membaca dalam kalangan Keluarga Malaysia, Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) telah mengadakan Program Komuniti \u201cMerakyatkan Perpustakaan\u201d di Perpustakaan Desa, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Taman Rambai Jaya.\nProgram tersebut telah dirasmikan oleh Exco Pendidikan dan Teknologi Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Paya Rumput, Datuk Rais Datuk Wira Yasin dan turut dihadiri oleh Pengerusi PERPUSTAM, Encik Rosli Abdullah; Pengarah PERPUSTAM, Encik Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris; Pengarah Prasarana, Ilmu dan Maklumat PNM mewakili Ketua Pengarah PNM, Encik Mohd Azmi Aziz; \u00a0Pengerusi Perpustakaan Desa Taman Rambai Jaya, Kapten (B) Mohamad Bujal; dan lebih daripada 250 orang pengunjung.\nProgram yang bertujuan untuk mendekatkan masyarakat setempat dengan perpustakaan melalui perkhidmatan dan aktiviti pembacaan yang disediakan itu telah memberikan peluang pengunjung untuk menyertai beberapa acara menarik yang disediakan. Antaranya termasuklah Pertandingan Mewarna Mari Membaca Kanak-kanak, Pertandingan Mewarna Keluarga Malaysia Dewasa, Pertandingan Cekap Jawi Tahap 2, Pertandingan Keratan Akhbar Belia, Pertandingan Masakan Lauk Pauk Kampung Dewasa, Pameran dan Kuiz Kenali Perpustakaan Anda, Teka Jumlah Muka Surat Buku, Teka Berat Buku dan Pengunjung Bertuah.\nDalam ucapan perasmiannya, Datuk Rais menyeru agar masyarakat di negeri Melaka menjadikan amalan membaca sebagai satu daripada budaya dalam kehidupan harian kerana budaya tersebut akan dapat membantu meningkatkan pemikiran masyarakat secara kritis dan kreatif.\nTambahnya lagi, dari aspek perkembangan kanak-kanak, amalan membaca dapat membantu pertumbuhan kognitif serta menguatkan memori seseorang, manakala bagi golongan dewasa, membaca akan dapat membantu masyarakat untuk membuka minda. Tidak lupa, beliau turut mengingatkan pengunjung yang hadir ke program tersebut untuk memilih bahan bacaan yang baik dan \u00a0dilengkapi dengan fakta yang tepat agar ilmu yang diperoleh dapat menjadi panduan yang berguna dalam kehidupan." "Keputusan Tawaran Kemasukan Tingkatan Enam, Isnin Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Tawaran kemasukan ke tingkatan enam tahun 2022 akan diumumkan pada 7 Julai 2022, Isnin ini.\nMenurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 boleh membuat semakan keputusan tawaran dan pendaftaran kemasukan ke tingkatan enam tahun 2022 secara dalam talian.\nBagi yang berhalangan atau tidak mempunyai capaian Internet, pelajar tersebut boleh membuat semakan keputusan tawaran melalui sekolah asal masing-masing.\nWalau bagaimanapun, KPM mengatakan bahawa pelajar yang tidak menerima tawaran berkenaan boleh mengemukakan permohonan rayuan secara dalam talian mulai 7 hingga 24 Julai 2022, manakala bagi pelajar yang tidak mempunyai capaian Internet, rayuan boleh dilakukan pada sekolah masing-masing.\n\u201cKeputusan permohonan rayuan kemasukan ke tingkatan enam Semester 1 akan dimaklumkan pada 1 Ogos 2022 melalui portal yang sama.\u201d\n\u201cPelajar yang ditawarkan ke tingkatan enam perlu melapor diri pada 25 Julai 2022 di kolej atau Pusat Tingkatan Enam yang dinyatakan dalam surat tawaran. Bagi ambilan rayuan, tarikh lapor diri adalah pada 2 Ogos 2022.\u201d\nKPM sentiasa komited untuk terus melaksanakan yang terbaik." "Edisi Sulung FFAM Melabuhkan Tirai, USM Tunjuk Taring\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPulau Pinang \u2013 Universiti Sains Malaysia (USM) melalui pasukan produksi, Acahart Studio muncul Juara Festival Filem Anak Muda (FFAM) 2022 anjuran kali pertama oleh Sekretariat Protege USM.\nPengarah FFAM 2022, Saudara Abdullah Nudin menganggap penganjuran edisi sulung ini menunjukkan bukti bahawa bidang perfileman masih lagi relevan dalam kalangan anak muda sepertinya kerana minat dan bakat yang ada wajar diraikan dengan sebaik-sebaiknya. Beliau juga menzahirkan rasa terharu dan penghargaan tidak terhingga kepada rakan kerjasama, penaja, peserta serta semua pihak yang membantu menjayakan FFAM pada kali ini.\nDalam program tersebut, USM telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan dan sekali gus memenangi kesemua lima kategori anugerah yang dipertandingkan, iaitu Anugerah Sinematografi Terbaik, Anugerah Skrip Terbaik, Anugerah Pengarah Terbaik, Anugerah Pelakon Terbaik dan Anugerah Suntingan Terbaik, manakala naib juara diraih oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan tempat ketiga ialah UiTM Puncak Perdana.\nProgram gilang-gemilang anjuran bersama Dewan Budaya USM, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar (BHEPA) USM, Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) USM dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Canon Malaysia sebagai Rakan Pengimejan Rasmi itu disambut meriah selama dua hari di Auditorium Dewan Budaya, USM, Pulau Pinang.\n\nProgram ini telah berjaya mengumpulkan sebanyak 18 pasukan produksi daripada sembilan buah institusi pengajian tinggi (IPT) bertanding dalam menyerlahkan kreativiti mereka berdasarkan tema \u201cInspirasiku\u201d.\nAntara IPT yang bertanding ialah Multimedia Universiti Malaysia (MMU), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaya (UM), UiTM Kampus Puncak Perdana dan Kampus Shah Alam, Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan wakil daripada tuan rumah, iaitu USM.\nFFAM 2022 turut dihadiri oleh juri-juri daripada barisan pengarah dan penerbit terkenal tanah air seperti Ghaz Abu Bakar, Indra Che Muda dan Dato\u2019 Jurey Latiff Rosli sebagai ketua juri.\nHari pertama dimeriahkan dengan beberapa acara seperti Majlis Perasmian dan Hari Tayangan FFAM 2022 yang menyaksikan acara gimik perasmian, persembahan oleh mahasiswa atau USM bertemakan lagu latar filem terkenal tanah air, tiga sesi tayangan 18 filem pendek penyertaan, sesi diskusi bersama pengarah filem pendek penyertaan, serta juri-juri dan juga jualan cenderahati FFAM 2022. Hari kedua dimeriahkan dengan acara Sesi Karpet Merah dan Malam Anugerah yang dihoskan oleh penyanyi dan pelakon terkenal Malaysia, Arja Lee yang merupakan bekas pelajar Sarjana Muda Seni Persembahan.\nFFAM 2022 kali ini diserikan lagi dengan kehadiran tetamu kehormat, iaitu Puan Ramnah Ramli, Pengarah Dewan Budaya USM, Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa da Pustaka Malaysia, Profesor Madya Dr. Bahiyah Omar, Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM, Encik Hazlan Abdu Hamid, Pengarah Pusat Pembangunan HEBAT USM, Encik Hunter Zhang, Pengarah Jabatan Perniagaan Komunikasi Pengimejan (ICB) Canon Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd., serta Puan Andy Siti Nurhidayah Rahim, Penasihat Sekretariat Protege USM.\nBertemakan \u201cInspirasiku\u201d, FFAM 2022 kali ini disambut meriah dengan kehadiran penonton dalam kalangan mahasiswa USM dan juga orang awam setempat Pulau Pinang." "Kayuhan Tautan Kasih FGV dan MAIPs Peduli Pupuk Muhibah dan Eratkan Persaudaraan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungkai \u2013 Program Kayuhan Tautan Kasih FGV dan MAIPs Peduli anjuran FGV Holdings Berhad telah diadakan di Felda Gunung Besout 2, Sungkai, Perak pada petang semalam. Program ini telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra.\u00a0\nKeberangkatan baginda ke program kayuhan amal ini diiringi oleh Pengerusi FGV Holdings Berhad, Dato\u2019 Dzulkifli Abd Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd Nazrul Izam Mansor berserta barisan pengurusan kanan Felda & FGV. Turut serta dalam program tersebut ialah Mufti Perlis, Prof. Madya Dato\u2019 Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor serta para peserta kira-kira 150 orang termasuklah ahli Kelab Berbasikal TTG Perlis dan juga TTG Kuala Lumpur.\nProgram tersebut dimulakan dengan penyempurnaan penanaman sepohon pokok Durian Udang Merah oleh Tuanku Raja Muda Perlis sebagai simbolik tanda kenangan keberangkatan baginda ke Felda Gunung Besout 2.\nSeterusnya selepas penyempurnaan penanaman pokok tersebut, Raja Muda Perlis bersama-sama dengan peserta progam kayuhan amal memulakan kayuhan sejauh 15 kilometer dan singgah di beberapa rumah asnaf untuk memberikan sumbangan dan bantuan.\n\n\n\u00a0\nKayuhan amal tersebut tamat lebih kurang pada pukul 5:30 petang. Selepas kayuhan amal tersebut, terdapat upacara penyerahan sumbangan wang zakat dan bantuan kepada 27 orang asnaf dari Felda Gunung Besout serta sumbangan khas buku daripada DBP kepada golongan asnaf, sekolah dan masjid.\nDalam titahnya, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan semua bahawa hubungan bermasyarakat amatlah penting dalam mendepani segala cabaran pada masa hadapan. Hal ini demikian kerana menerusi perhubungan kemasyarakatan yang erat, sebuah generasi yang seimbang dari segi moral dan intelektual akan dapat dibentuk, di samping tersemainya budaya bertolak-ansur, memahami antara satu sama lain, dan memupuk semangat perpaduan yang jitu dalam kalangan rakyat tanpa mengira warna kulit, kaum dan keturunan.\nTambah baginda lagi, melalui pendekatan bersemuka sambil beramah mesra seperti yang dapat dilihat dalam program tersebut akan memberikan peluang kepada semua pihak terutamanya FGV dan FELDA dalam menguatkan lagi hubungan kemasyarakatan dan sosial dengan komuniti di sekitar kawasan operasi syarikat mereka.\nOleh itu, baginda amat menggalakkan lebih banyak lagi syarikat korporat seperti FGV untuk tampil meneruskan aktiviti kemasyarakatan agar semua pihak khususnya golongan yang memerlukan dapat turut sama merasai sedikit limpahan \u2018nikmat\u2019 yang dikecapi oleh syarikat korporat ini.\nSelain itu, Mufti Perlis, Prof. Madya Dato\u2019 Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin juga memberikan penghargaan kepada pihak FGV kerana turut sama melakukan aktiviti kemasyarakatan serta menekankan betapa pentingnya program seperti ini dalam mengeratkan hubungan sesama manusia serta dapat memupuk nilai persaudaraan dan tanggungjawab sosial." "Keputusan SVM dan PASM Diumumkan Esok\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa keputusan peperiksaan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Semester 4 Sesi 2/2021 dan Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah (PASM) tahun 2021 akan dikeluarkan pada 4 Julai 2022 (esok).\nSlip keputusan peperiksaan bagi calon SVM Semester 4 dan pelaporan PASM bagi murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) boleh diperoleh dari kolej vokasional/sekolah masing-masing mulai pukul 10.00 pagi pada 4 Julai 2022." "Belia Perlu Bersatu Hati dalam Memperteguh Agenda Keamanan dan Keselamatan \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah menyampaikan nasihat buat anggota masyarakat khususnya golongan belia supaya mengelakkan diri daripada terlibat dengan sebarang isu sektarian yang boleh membawa kepada perlakuan keganasan.\nBaginda juga berharap agar golongan belia sentiasa bersatu hati dalam memperteguh agenda keamanan dan keselamatan yang menjadi salah satu asas kepada kesempurnaan kehidupan.\nDemikian titah Tuanku Raja Muda selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bernilai RM21 000 kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al Mustaqim, Seriab dekat Kangar untuk diagihkan oleh amilnya, Rosli Yob, baru-baru ini. Penerima sumbangan akan menerima RM700 setiap seorang.\nTurut hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.\nTuanku Syed Faizuddin Putra turut mengingatkan masyarakat untuk sentiasa mengambil iktibar supaya tidak mudah meninggalkan warisan budaya Melayu Muslim dalam usaha mengisi dan mengukir segala corak kemajuan yang akan dibina.\nLambakan isu negatif seperti keganasan, bunuh diri, penagihan najis dadah, kehilangan kasih sayang terhadap keluarga dan hakisan nilai murni dalam kalangan masyarakat mampu meruntuhkan nilai moral di samping melemahkan jati diri dan juga menghakis warisan budaya sekiranya tidak dikawal dengan baik oleh setiap individu mahupun kelompok masyarakat sendiri." "KPM akan Melaksanakan Kaedah Terbaik untuk Menangani Tahap Literasi Pelajar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGenting Highlands \u2013 \u201cKementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang dalam proses meneliti, mengkaji dan mencari pendekatan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berbeza, paling sesuai dan tepat untuk menangani tahap penguasaan literasi yang masih rendah dalam kalangan pelajar di negara ini,\u201d ujar Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dalam Majlis Perasmian Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-29 di Institut Aminuddin Baki (IAB), Cawangan Genting Highlands.\nMenurut Dr. Radzi Jidin, masalah tersebut bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah wujud sejak sebelum pandemik COVID-19 melanda negara. Oleh itu, isu tersebut perlu diberikan perhatian yang sewajarnya kerana terdapat segelintir pelajar yang masih tidak berupaya membaca dengan baik walaupun sudah memasuki peringkat sekolah menengah.\nBagi menangani perkara ini, beliau bersama-sama dengan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Hajah Nor Zamani Abdol Hamid akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pihak yang berkaitan untuk merangka pendekatan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih komprehensif bagi membolehkan pengajaran literasi dilaksanakan dengan efektif serta program intervensi literasi awal untuk kanak-kanak istimewa dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.\nJelas beliau lagi, isu berkenaan mula berbangkit apabila pihak KPM mengadakan pertemuan dengan para guru sekolah menengah di lapangan bagi mendengar permasalahan pelajar dalam menguasai literasi yang merangkumi keupayaan membaca, menulis dan memahami perkataan dan ayat yang mudah serta kompleks dalam bahasa Melayu dan mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam pembelajaran dan komunikasi harian.\nDalam majlis yang sama, Dr. Radzi Jidin turut menyatakan bahawa pihaknya mengambil maklum tentang dakwaan terdapat guru yang terpaksa menipu dalam memberikan pemarkahan kepada para pelajar semata-mata demi mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.\n\u201cMasyarakat harus faham bahawa tindakan guru terbabit ialah satu perkara yang subjektif kerana mereka turut berhadapan dengan pelbagai tekanan dalam sistem pendidikan. Manakala ulasan dan pemarkahan yang diberikan oleh guru adalah berdasarkan justifikasi mereka yang mengasuh, mendidik dan berhadapan dengan para pelajar pada setiap hari. Justeru, mereka lebih kenal dan arif tentang hakikat setiap pelajar yang dinilai. Oleh hal yang demikian, tidak wajar dan tidak adil untuk menuduh guru-guru menipu dalam memberikan markah penilaian. Walau bagaimanapun, pihak KPM mengambil cakna tentang hal ini dan akan mencari pendekatan terbaik bagi mengatasi masalah ini,\u201d kata Dr. Radzi Jidin.\nTurut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Dr. Ahmad Rafee Che Kassim dan Pengarah Institut Aminuddin Baki, Dato\u2019 Dr. Tajuddin Mohd. Yunus." "DBP dan KUIP\u2019s Memperlebar Jaringan Ilmu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013\u00a0Program Deklamasi Puisi Islam dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman DBP-KUIP\u2019s telah diadakan semalam di Auditorium Kolej Universiti Islam Perlis (KUIP\u2019s). Program tersebut disempurnakan dengan keberangkatan tiba Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merupakan Canselor KUIP\u2019s.\nProgram tersebut juga turut dihadiri oleh tetamu kehormat, iaitu Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tuan Haji Mohd Nazim Haji Mohd Nor, Ketua Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIP\u2019s), Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah KUIP\u2019s, dan Prof. Madya Dr. Abdul Basir Awang @ Ramli, Timbalan Rektor Akademik dan Antarabangsa KUIP\u2019s.\nProgram dimulakan dengan deklamasi puisi Islam oleh pemuisi-pemuisi dari KUIP\u2019s, Persatuan Penulis Perlis, Angkatan Sasterawan Indera Perlis (AKSARA), Datin Seri Haryani Haron, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan Sasterawan Negara, Dato\u2019 Rahman Shaari.\nSelepas deklamasi puisi tersebut, majlis diteruskan dengan upacara menandatangani Memorandum Persefahaman antara DBP dengan KUIP\u2019s. Pihak KUIP\u2019s diwakili oleh Prof. Madya Dr. Abdul Basir Awang @ Ramli, iaitu Timbalan Rektor Akademik dan Antarabangsa KUIP\u2019s manakala DBP pula diwakili oleh Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran selaku Ketua Pengarah DBP.\nDalam program tersebut juga DBP turut menyumbangkan buku kepada pihak KUIP\u2019s.\u00a0 Program ini berakhir dengan pemberian cenderamata kenang-kenangan kepada Raja Muda Perlis oleh Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan selaku Pengerusi Lembaga Pengelola DBP." "Raja Muda Perlis Menyantuni Asnaf dalam Program Warna-Warni Bahasa Sebelum Meneruskan Program Kayuhan MAIPs Peduli\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Perlis \u2013 Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan untuk singgah di Program Warna-warni Bahasa di Kampung Tandiap pada 5 Julai 2022 yang menjadi satu daripada tempat hentian dalam Program Kayuhan MAIPs Peduli. Dalam persinggahan tersebut, baginda berkenan untuk mengecat perkataan \u201cBAHASA\u201d pada tepi tangga rumah\u00a0 yang dimiliki oleh salah seorang penduduk di Kampung Tandiap sebagai simbolik bagi program ini.\nTurut sama mengecat perkataan pada tepi tangga rumah ini ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan yang mengecat perkataan \u201cJIWA\u201d, diikuti oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran yang mengecat perkataan \u201cBANGSA\u201d untuk melengkapkan frasa \u201cBAHASA JIWA BANGSA\u201d yang menjadi moto DBP.\nSeterusnya, baginda juga berkenan untuk meluangkan masa bergambar dengan sukarelawan yang terlibat dalam program ini. Sukarelawan ini melibatkan pihak penganjur sendiri yang terdiri daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia (MFWDA), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Perlis, Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara, dan EST Infinity Enterprise.\nDalam kunjungan ini, baginda turut berkenan untuk mengurniakan sumbangan berbentuk barang keperluan kepada salah seorang asnaf yang turut dicat rumahnya dalam program ini. Keprihatinan baginda terhadap kesusahan asnaf ini sepatutnya menjadi contoh dan teladan kepada kita semua supaya sentiasa cakna akan masyarakat yang kurang bernasib baik dari segi ekonominya.\nSelesai sahaja mengurniakan sumbangan kepada asnaf, Raja Muda Perlis meneruskan kayuhan untuk singgah ke Program Santai Bahasa yang diadakan tiga tempat, iaitu Anjung Persinggahan Raja, Laman Bunga Raya dan Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Bagi Program Warna-warni Bahasa itu sendiri, program ini sebenarnya telah bermula pada 4 Julai 2022. Program ini merupakan program gotong-royong mengecat rumah yang melibatkan lima buah rumah penduduk Kampung Tandiap. Program ini selaras dengan hasrat DYTM Tuanku Raja Muda Perlis yang ingin menjadikan kampung ini berwarna-warni.\n\u00a0\nMenurut Mohd Khairul Nizam, Presiden MFWDA, program ini diharap dapat mendidik penduduk kampung supaya cintakan keindahan dan kebersihan. Menerusi program selama dua hari ini, Mohd Khairul Nizam gembira dengan semangat yang ditunjukkan oleh sukarelawan, terutamanya daripada penduduk kampung. Selain program mengecat rumah ini, pihak penganjur juga telah memacak tujuh papan tanda yang memaparkan petikan puisi tokoh, mutiara kata sasterawan negara dan pantun yang boleh diambil pelajaran untuk semua pihak. Tujuh papan tanda ini ialah simbolik bagi tujuh buah kampung yang terdapat di kampung Seberang Ramai, iaitu Kampung Tengah, Kampung Hujung Tanjung, Kampung Seberang Alor, Kampung Seberang Jaya, Kampung Baru Seberang, Pulau Ketam dan Kampung Tandiap.\nPresiden MFWDA ini menceritakan beberapa impak besar hasil daripada program kesukarelawanan di kampung ini. Antaranya termasuklah pertambahan kedatangan pelancong, sama ada dari dalam atau luar negara. Jika dahulu orang luar tidak tertarik untuk masuk ke kampung ini, kini tidak lagi apabila banyak golongan muda yang menjadikan kampung ini sebagai kandungan bahan video untuk penerbitan di YouTube dan TikTok.\nBagi Encik Shahrizan Mansor yang merupakan Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Hubungan Serantau MAIPs, program warna-warni kampung ini dicetuskan oleh Raja Muda Perlis menerusi pengalaman baginda ketika berada di luar negara. Apabila pulang ke Malaysia, baginda berharap agar dapat membawa perubahan yang lebih baik di Malaysia, terutamanya untuk golongan belia di negeri Perlis.\nEncik Shahrizan Mansor mengimbau keadaan Kampung Seberang Ramai sebelum ini yang tidak seperti sekarang ini. Dahulu, sampah bukan sahaja banyak, tetapi bersepah di kampung. Kini, tahap kesedaran penjagaan kebersihan dalam kalangan penduduk kampung semakin meningkat dan menyebabkan kampung makin bersih dan indah. Malah, ada penduduk yang teruja dengan keindahan kampung ini yang sanggup mengeluarkan biaya sendiri untuk terus menghias kampung. Menurut beliau lagi, program seumpana ini bukanlah program berkala, tetapi suatu yang bersifat berterusan.\n\u00a0\nKetua Kampung Tandiap, Encik Baharin Che Ros pula menceritakan kesukaran yang dihadapi oleh penduduk kampung sebelum program ini mula diadakan tiga tahun yang lalu. Pada waktu itu, tahap kebersihan kampung sukar dijaga kerana tong sampah hanya diletakkan di bahagian tepi jalan luar kampung yang lokasinya agak jauh. Namun begitu, atas inisiatif Raja Muda Perlis menerusi MAIPs, kini telah ada petugas yang akan masuk ke dalam kampung untuk mengutip sampah pada setiap pagi. Dengan idea Raja Muda Perlis yang ingin menjadikan Kampung Seberang Ramai ini berwarna-warni ini jugalah yang menyebabkan penduduk makin seronok dan bahagia berada di kampung masing-masing.\nEncik Baharin Che Ros menganggarkan bahawa terdapat lebih kurang separuh lagi rumah di kampung tersebut yang belum dicat menerusi program yang diadakan ini. Hal ini menyebabkan mereka ternanti-nanti program yang seterusnya. Dari segi pemilihan warna cat, Encik Baharin Che Ros menyatakan bahawa terdapat warna cat asas yang dibekalkan untuk program ini, iaitu kuning, biru, merah dan jingga. Jika penduduk inginkan tambahan warna lain, mereka akan membelinya sendiri. Menurut beliau, ada juga rumah yang bukan sekadar dicat secara biasa, tetapi dicat dalam bentuk mural. Akhir kata, ketua kampung ini meluahkan kegembiraan dan kepuasan hatinya apatah lagi orang kampung selalu memuji Raja Muda Perlis yang menjadikan kampung mereka berwarna-warni, selain terharu dan seronok dengan keindahan kampung serta kehadiran pelancong ke kampung mereka." "Memahami Subsidi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSubsidi menjadi isu yang paling menarik perhatian sejak belakangan ini. Hal ini bermula daripada isu subsidi yang berkaitan dengan kenaikan harga ayam dan subsidi minyak masak yang merupakan keperluan utama rakyat di negara ini. Kekurangan bekalan barangan tersebut di pasaran juga menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan rakyat.\n\nWalau bagaimanapun, keresahan rakyat itu pada akhirnya diredakan oleh kerajaan apabila Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, pada 21 Jun lalu menjelaskan dalam sidang media khas di Pejabat Perdana Menteri bahawa kerajaan tidak akan menarik balik subsidi minyak masak peket seperti yang didakwa oleh pihak tertentu. Penjelasan Perdana Menteri itu bermaksud bahawa subsidi minyak masak peket masih dikekalkan bagi meringankan beban yang dialami oleh rakyat terutamanya golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) susulan peningkatan harga barangan pada ketika ini.\nSaya ingin menjelaskan kekeliruan berhubung dengan subsidi minyak masak yang dikatakan ditarik balik. Suka saya menjelaskan bahawa pihak kerajaan masih mengekalkan subsidi minyak masak dengan jumlah sebanyak RM4 bilion pada tahun 2022 ini, iaitu setakat ini. Jumlah subsidi yang diberikan ini adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan tahun sebelumnya, iaitu sebanyak RM500 juta pada tahun 2020 berbanding dengan RM2.2 bilion pada tahun 2021. Minyak masak yang diberikan subsidi oleh kerajaan adalah berjumlah 60 ribu tan metrik sebulan, iaitu jumlah yang melebihi keperluan sebenar pengguna, iaitu sebanyak 55 ribu tan metrik sebulan. Walaupun keperluan pasaran adalah sebanyak 55 ribu tan metrik, kerajaan telah memberikan subsidi sebanyak 60 ribu tan. Hal ini bermakna terdapat lebihan 5000 tan metrik.\nDalam hal itu, Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa pada ketika ini juga rakyat masih dapat menikmati manfaat subsidi yang diberikan oleh kerajaan dengan harga RM2.50 sepeket (minyak masak paket) sekilogram berbanding dengan harga pasaran, iaitu RM9.00. Walau bagaimanapun, tambahnya lagi, minyak masak tersebut adalah untuk kegunaan rumah seperti yang tertera pada paket plastik, khususnya untuk golongan B40.\nTernyata penjelasan Perdana Menteri itu melegakan rakyat yang sememangnya berasa bimbang akan berlaku kenaikan harga barangan makanan yang pastinya akan menjejaskan rantaian kehidupan rakyat. Maka itu, rakyat mengharapkan agar kerajaan dengan segera dapat mengawal kenaikan harga barangan yang sedang berlaku dan mencari jalan penyelesaian yang memberikan manfaat kepada semua pihak.\nPada ketika isu subsidi masih meresahkan rakyat. Pada 26 Jun lalu, menerusi Laporan Kewangan Rakyat ke-100, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengumumkan bahawa jumlah keseluruhan subsidi negara dijangka menghampiri RM80 bilion bagi tahun 2022. Jumlah itu menurutnya adalah jumlah subsidi terbesar dalam negara.\nTambahnya lagi, bagi mengurangkan tekanan inflasi terhadap rakyat, kerajaan memberikan pelbagai subsidi kepenggunaan meliputi petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, tepung dan elektrik.\n\u201cSecara keseluruhan, unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan bagi tahun 2022 merupakan jumlah subsidi tertinggi dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan. Apabila ditambah dengan bantuan-bantuan lain seperti bantuan kebajikan masyarakat, bantuan pertanian, nelayan dan sebagainya, jumlah keseluruhan subsidi dijangka menghampiri RM80 bilion bagi tahun 2022 yang merupakan jumlah subsidi terbesar dalam sejarah,\u201c katanya.\nWalau bagaimanapun, menurut Tengku Zafrul, kerajaan tetap akan melaksanakan dasar yang secara amnya bertujuan untuk membendung inflasi bagi mengelakkan kenaikan harga yang terlalu mendadak dan pada masa yang sama membantu golongan yang perlu dari segi bantuan secara langsung. Hal ini dikatakan demikian kerana dasar itu dilihat telah menghasilkan satu situasi yang dikira terkawal, terutamanya apabila dibandingkan dengan negara-negara lain.\nTernyata pemberian subsidi tidak hanya berlaku di Malaysia. Hampir kebanyakan negara di dunia masih memperuntukkan subsidi kepada rakyat di negara masing-masing. Pada tahun 2019, sebanyak 10 buah negara dicatatkan menanggung jumlah subsidi tertinggi di dunia. Negara tersebut ialah Indonesia, Korea, Iran, Colombia, Uzbekistan, Iraq, Rusia, Chile, India, dan Paraguay.\nSebagai persoalannya, dengan pelbagai situasi kewangan yang menghimpit rakyat pada hari ini, adakah kita benar-benar memahami apa-apa yang dimaksudkan dengan subsidi?\nSubsidi ialah faedah yang diberikan oleh kerajaan kepada individu dan perniagaan atau sesebuah institusi. Subsidi boleh diberikan secara langsung (seperti pembayaran tunai) sebagai contohnya, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang merupakan inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 bagi membantu mereka yang memerlukan untuk meneruskan kehidupan selepas terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. Selain itu, BKM juga bertujuan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat.\nSelain itu, kerajaan juga menyediakan subsidi tidak langsung seperti pelepasan cukai. \u00a0Sebagai contohnya, pengecualian cukai jualan kereta yang pernah diperkenalkan oleh kerajaan menerusi Belanjawan 2022 adalah bertujuan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan dan memacu momentum perkembangan sektor automotif.\nApakah tujuan pemberian subsidi? Subsidi pada kebiasaannya diberikan untuk menghapuskan beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. Dalam teori ekonomi, subsidi boleh digunakan untuk mengimbangi kegagalan pasaran untuk mencapai kecekapan ekonomi yang lebih besar. Subsidi juga secara amnya dilihat sebagai jenis bantuan kewangan yang istimewa kerana subsidi dapat mengurangkan beban berkaitan yang sebelum ini dikenakan terhadap penerima atau bertujuan untuk mempromosikan tindakan tertentu dengan menyediakan sokongan kewangan.\nMaka itu, dalam keadaan ekonomi yang semakin menghimpit (bukan sahaja di Malaysia, tetapi yang melanda di seluruh dunia) ternyata subsidi amat diperlukan oleh rakyat. Perjalanan endemik COVID-19 negara sememangnya mencabar dan perit, banyak pihak sedang berusaha keras untuk memulakan \u201ckehidupan\u201d baharu selepas terjejas akibat pandemik COVID-19 yang melanda.\nOleh itu, penarikan subsidi terhadap barangan keperluan atau perkhidmatan pastinya akan meninggalkan impak yang besar terhadap sosioekonomi rakyat. Menyedari akan hal ini, pada 3 Jun lalu, Perdana Menteri ketika berucap dalam program Kenduri Rakyat Bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Siri Kelima, memberikan bayangan bahawa kerajaan akan meningkatkan pemberian BKM pada fasa seterusnya sekiranya isu kenaikan harga barangan dalam negara masih berlarutan.\nPastinya isu subsidi akan terus menjadi perhatian utama kerajaan. Dalam mengimbangi keperluan rakyat, kerajaan diyakini mempunyai formula yang terbaik untuk memastikan isu kenaikan harga barangan dapat diatasi atau setidak-tidaknya dapat diminimumkan bagi membolehkan rakyat menyesuaikan kehidupan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu." "Mencanai Bahasa Mempertajam Minda Bangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Buku Mencanai Bahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ditulis oleh Mohd. Januri Aiyub membantu pembaca memahami dan mempertajam bahasa Melayu supaya penggunaan bahasa lebih gramatis dan betul. Takrifan \u201cmencanai bahasa\u201d secara tersiratnya adalah untuk membentuk, membina dan meningkatkan sesuatu dari segi minda dan kepakaran.\nBuku ini merangkumi perbincangan tentang beberapa konsep tatabahasa dan penggunaan bahasa Melayu dalam masyarakat. Penggunaan bahasa yang betul diharapkan dapat menimbulkan rasa cinta terhadap bahasa Melayu.\nSehubungan dengan itu, program Bicara Karyawan yang disiarkan menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada petang ini membicarakan buku Mencanai Bahasa secara lebih terperinci. Buku ini terbahagi kepada empat bahagian, iaitu bab pertama berkaitan dengan beberapa konsep dalam bahasa, bab kedua tentang tatabahasa, bab ketiga tentang ejaan dan bab keempat berkaitan dengan bahasa dan masyarakat. Pembahagian bab ini ada kaitan dengan tajuk buku ini, iaitu mempertajam minda masyarakat tentang bahasa.\n\u201cPenggunaan bahasa seharusnya tidak bergantung pada hafalan rumus bahasa semata-mata, sebaliknya pengguna perlu memahami konsep bahasa Melayu dan memahami sistem ejaannya yang tersendiri. Setelah memahami konsep bahasa, tatabahasa dan perihal sistem ejaan ini, bab seterusnya merungkaikan penggunaan bahasa dalam masyarakat. Dari sudut sosiolinguistik, penggunaan bahasa dilihat dalam pantun, bahasa dalam kamus, bahasa dalam dialek dan bahasa dalam budaya Melayu,\u201c demikian menurut Januri Aiyub.\nSelepas memahami semua bab dalam buku ini, diharapkan bahasa itu dapat dicanai oleh pengguna bahasa khususnya pembaca buku ini di samping dapat mempertajam bahasa dari semasa ke semasa.\nYang turut dibincangkan adalah tentang pembentukan kata \u201cakronim\u201d dan \u201churuf ringkas\u201d yang termuat dalam Bab 1. Dari segi konsep, akronim merupakan kependekan atau penyingkatan bahagian daripada serangkaian perkataan sama ada huruf suku kata atau ataupun bahagian perkataan yang digabungkan atau dicantumkan untuk membentuk perkataan yang dapat dilafazkan secara utuh.\nBagi membuktikan perkataan tersebut utuh, misalnya serangkai perkataan: Ahli Dewan Undangan Negeri akhirnya menjadi perkataan yang utuh, iaitu ADUN, Universiti Pendidikan Sultan Idris disebut sebagai UPSI dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia disebut sebagai PERKIM.\nBegitu juga dengan huruf ringkas yang merupakan kependekan perkataan yang diambil dari awal perkataan yang disebut dengan huruf dan bukannya perkataan yang utuh. Misalnya serangkaian perkataan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur disebut sebagai DBKL, Dewan Bahasa dan Pustaka disebut sebagai DBP serta Kuala Lumpur disebut KL, manakala SPRM, SPM, UKM, BSN, YB dan PM juga disebut dengan huruf.\nAkronim juga boleh mengambil serangkaian perkataan daripada bahasa Inggeris dan diringkaskan seperti UMNO (United Malays National Organisation). Begitu juga huruf ringkas seperti KLIA (Kuala Lumpur International Airport) disebut dengan huruf dan bukan dibunyikan perkataannya seperti NKRA (National Key Result Areas), dan KPI (Key Performance Indicator).\nBuku Mencanai Bahasa ini sangat padat dengan maklumat tentang penggunaan bahasa Melayu dengan baik dan betul. Walau bagaimanapun, agak menyedihkan kerana penggunaan bahasa Inggeris masih digunakan dalam program rasmi dan di hadapan khalayak ramai semasa ditemu bual oleh wartawan. Segelintir rakyat Malaysia juga masih tidak tahu menggunakan bahasa Melayu walaupun negara sudah mencapai 66 tahun kemerdekaan.\nGolongan muda sepatutnya berasa bangga menggunakan bahasa Melayu sebagai milik bahasa bersama. Bahasa ini bukan milik orang Melayu semata-mata, sebaliknya perlu dihayati dan difahami \u00a0oleh warga Malaysia bahawa bahasa ini merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini." "Anugerah DUTA Pemangkin Pembudayaan Inovasi Pendidikan Digital\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Anugerah DUTA 2021 (Digital Utilisation and Technology Awards) Peringkat Kebangsaan telah diadakan di Auditorium Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kuala Lumpur, petang ini. Majlis yang diadakan secara tahunan ini dirasmikan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Yang Berhormat Datuk Dr. Radzi Jidin.\nDalam ucapan perasmiannya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha dalam melaksanakan penambahbaikan terhadap ekosistem pendidikan negara, khususnya pendidikan digital agar seiring dengan perkembangan pendidikan global.\nPelbagai skop pendigitalan telah ditambah baik dalam konteks pendidikan. Sebagai contoh, pendigitalan dalam konteks pemarkahan kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malayais (SPM) 2020 telah dilaksanakan secara dalam talian dan diteruskan pada tahun berikutnya.\n\u201cKita tahu dunia bergerak ke arah pendigitalan yang lebih cepat, lebih laju, maka dunia juga bersaing atas platform teknologi,\u201d ujar Datuk Dr. Radzi Jidin.\nBeliau juga menyatakan bahawa pendigitalan juga memberikan banyak ruang dalam penambahbaikan pedagogi pendidikan dan juga konteks penggunaan sumber yang boleh digunakan di pelbagai peringkat di KPM. Ketidakcekapan dalam proses sedia ada akan dapat ditingkatkan melalui penggunaan teknologi yang lebih kukuh. Tambah beliau:\nPendigitalan bukan \u00a0lagi\u00a0 pilihan. Pendigitalan ini merupakan satu keperluan, di mana kita perlu melihat apakah pendekatan yang paling baik bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat ditingkatkan, bukan sahaja inovasi dalam pedagogi pendidikan dapat ditambah baik, pada masa yang sama penggunaan sumber di sekolah dan institusi KPM juga dapat ditambah baik.\nDalam melahirkan murid fasih digital, Datuk Dr. Radzi Jidin mengharapkan inovasi dalam pedagogi terus dipertingkatkan dan diperluas bagi mempelbagaikan pendekatan pengajaran dan pembelajaran dengan mengoptimumkan penggunaan teknologi digital dan berpusatkan murid serta bersesuaian dengan keadaan semasa.\nMemberikan respons kepada keluhan guru tentang sistem pentaksiran yang dianggap sebagai tambahan beban tugas, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata bahawa KPM akan mewujudkan satu platform khusus bagi memastikan pentaksiran dan pelaporan dapat dilaksanakan sekali sahaja dan boleh diakses oleh pelbagai pihak. Perbincangan dengan pentadbiran sekolah juga telah dilaksanakan bagi mengambil kira sistem penjadualan yang lebih menyeluruh dan akan ditingkatkan melalui satu aplikasi yang akan dibangunkan. Kecekapan penggunaan utiliti juga akan lebih mudah diurus melalui satu sistem, iaitu bil utiliti di sekolah akan dipantau dari satu platform bagi memastikan kecekapan penggunaan sumber dapat ditingkatkan.\nDalam majlis tersebut, beliau menyampaikan ucapan tahniah dan syabas kepada semua penerima anugerah. Beliau turut menegaskan bahawa anugerah yang diperoleh tidak bermakna sekiranya inovasi tersebut tidak dikongsikan bersama, bukan sahaja dalam konteks pelaksaanan proses kerja, tapi juga dari konteks pendidikan.\nSementara itu dalam ucapan alu-aluan, Timbalan Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Encik Shaiful Hasnan Abd Hamid berkata bahawa anugerah DUTA bertujuan untuk memberikan pengiktirafan tertinggi kepada kesungguhan dan komitmen murid, guru, sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam menjayakan inisiatif pendidikan digital yang bertujuan melahirkan generasi fasih digital yang berinovasi dalam bidang berkemahiran tinggi dan berdaya saing. Anugerah DUTA juga memperkukuh konsep Sekolahku SEJAHTERA yang bermatlamat melahirkan generasi muda pewaris negara yang hebat dan mampu bersaing di peringkat dunia.\nSebanyak 41 hadiah untuk anugerah telah disampaikan dalam majlis ini merangkumi kluster Anugerah Pusat Sumber Sekolah, Anugerah Pendidikan Digital, Ikon Guru dan Ikon Murid. Para pemenang menerima hadiah wang tunai, trofi dan sijil peringkat kebangsaan. Dalam suatu majlis berasingan pada sebelah pagi, sebanyak 61 hadiah telah disampaikan merangkumi Anugerah Nilam Kebangsaan, Pertandingan Bicara Buku Kebangsaan, Pengkarya Muda dan TV PSS.\nTurut hadir memeriahkan majlis ini ialah YBhg. Dato\u2019 Haji Pkharuddin Haji Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Dasar dan Kurikulum (SDK) mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan Mantan Pengarah BSTP, Puan Maznah Abu Bakar." "Syarikat T.H. Mineral Sumbang 3600 Liter Air kepada Mangsa Bencana\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKaki Bukit\u00a0\u2013 T.H. Mineral Water Industries (M) Sdn. Bhd. menyumbang sebanyak 3600 liter air mineral kepada mangsa bencana kejadian kepala air dan banjir lumpur di Baling, Kedah melalui Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis,\u00a0hari ini.\nSementara itu, sebanyak 2400 botol air mineral berjenama \u201cStar Cool\u201d diserahkan kepada pihak YTSP Perlis dan terus dihantar segera ke Sungai Lata Celak, Kampung Iboi melalui Misi Bantuan Baling oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan sukarelawan Majlis Belia Negeri Perlis semalam.\nPengarah Eksekutifnya, Loh Kien Hin mempersembahkan sumbangan tersebut kepada Raja Muda Perlis, DYTM\u00a0Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersempena keberangkatan baginda menyempurnakan majlis perasmian program Production Line 250\u00a0ml TH Mineral Water,\u00a0di kilang mereka yang beroperasi di Jalan Tasoh, Kaki Bukit.\nMenurut Loh, warga T.H. Mineral menjunjung setinggi-tinggi kasih atas perkenan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis bersama-sama anakandanya, DYTM Sharifah Farah Adriana Jamalullail yang berkenan berangkat bagi menyempurnakan perasmian tersebut.\n\nSebagai tanda syukur atas perkenan dan kesudian baginda\u00a0yang terkenal sebagai pewaris takhta yang amat prihatin dan berjiwa rakyat, pihak syarikat berbesar hati untuk membantu mereka yang terkesan dengan banjir di negeri jiran itu.\nPihak syarikat juga berharap agar sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat ini terus membantu meringankan beban masyarakat, khususnya golongan yang terkesan.\nTurut hadir dalam majlis penyerahan sumbangan tersebut\u00a0ialah\u00a0Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Titi Tinggi yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Teh Chai Aan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd.\u00a0Nazim Mohd.\u00a0Noor." "HASiL Sumbang Empat Ekor Lembu dan Bakul Makanan kepada Asnaf, Sempena Aidiladha\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\nKeningau \u2013 Bersempena Hari Raya Aidiladha, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) Cawangan Keningau mengadakan Program Ibadah Korban dan Program Tanggungjawab Sosial (SR) di perkarangan Surau An-Nur Kampung Bandukan Baru Keningau pada pukul 7.00 pagi, semalam.\nDalam program kerjasama antara Pejabat Pengarah Negeri Sabah (PPNS) dengan Pejabat Pengarah Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPNWPKL), sebanyak empat ekor lembu telah dikorbankan, selain penyerahan bakul makanan dan wang tunai kepada golongan asnaf dan warga penduduk Kampung Bandukan Baru.\nDengan pelibatan sebanyak 60 orang warga kerja HASiL yang diketuai oleh Tuan Haji Mohamad Zain Mohamad Said, Pengarah PPNWPKL dan Encik Mazlan Mandin, Pengarah HASiL Cawangan Keningau, aktiviti korban ini turut dibantu oleh Jawatankuasa Surau An-Nur Kampung Bandukan Baru Keningau\nMenurut Tuan Haji Mohamad Zain Mohamad Said, objektif utama program yang dianjurkan bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara HASiL dengan pihak penduduk di sekitar daerah Keningau, malah menjadi amalan HASiL ke arah melahirkan warga kerja dan organisasi yang prihatin kepada masyarakat.\nHASiL berharap agar sumbangan tersebut dapat membantu pihak surau An-Nur Kampung Bandukan Baru dalam menambah baik keperluan sedia ada, selain membantu mengimarahkan surau berkenaan.\nTurut menjayakan program ini ialah Encik Bacho Abdul Karim, Pengarah HASiL Cawangan Kuala Lumpur Bandar, Encik Alexander Iskandar Tanggang Mahmud, Timbalan Pengarah HASiL Cawangan Keningau dan Encik Herman Haji Salim, Pengerusi Surau An-Nur Kampung Bandukan Baru Keningau.\n\u201cSemoga dengan pelaksanaan program seperti ini dapat memberikan peluang kepada HASiLian untuk berbakti kepada masyarakat setempat, di samping menzahirkan HASiL sebagai sebuah badan perkongsian (sharing organisation) yang juga menitikberatkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Semoga sumbangan dan usaha murni ini mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah SWT,\u201d menurut HASiL dalam kenyataan media semalam." "Tawaran Menyertai Rejimen Askar Wataniah Terbuka Hingga 31 Julai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru orang ramai, khususnya golongan lelaki agar menyertai Rejimen Askar Wataniah dengan membuat permohonan awal Perajurit Muda Tentera Darat Siri 196 Lelaki Tahun 2022 secara dalam talian.\nMenurut Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak, para pemohon harus memahami syarat kelayakan yang telah ditetapkan terlebih dahulu sebelum membuat permohonan bagi memastikan syarat kelayakan dipatuhi. Maka demikian, panduan dan syarat kelayakan permohonan disediakan bagi memastikan pemohon menyediakan dokumen yang lengkap sebelum dimuat naik dalam sistem pendaftaran.\nSelain itu, pihak pengambilan juga berhak membatalkan permohonan sekiranya terdapat keraguan, penipuan ataupun pemalsuan maklumat.\nDemikianlah dimaklumkan Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak selepas menghadiri sesi taklimat persiapan penganjuran Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri 33/22 yang bakal mengumpulkan semua komander dari seluruh negara.\nPerbincangan hala tuju Askar Wataniah akan diadakan pada bulan Oktober kepada Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Komander rejimen selepas mendapat perkenan di Galeri DiRaja Arau baru-baru ini.\nDalam perkara berasingan pada hari ini, Tuanku Raja Muda yang juga merupakan Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) merakamkan ucapan takziah kepada hampir 102 mangsa bencana ribut yang melanda Perlis semalam dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan bertungkus-lumus, termasuklah agensi, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) atau orang perseorangan, selain memberikan sumbangan." "Pendidikan TMK Wajar Diterokai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 \u201cKeperluan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) seperti gamifikasi dalam pendidikan dan pengekodan merupakan bahasa ketiga dan ilmu pada masa ini yang wajar diterokai.\u201d\nTitah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam hebahan media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), hari ini.\nTambah baginda, kemahiran kalis masa hadapan seperti Internet benda (IoT), TMK, keusahawanan dan pengurusan acara telah diperkenalkan di negeri Perlis oleh Jabatan Pendidikan Negeri. Tujuannya adalah untuk memberikan ruang dan peluang kepada pelajar dalam meningkatkan ilmu dan kemahiran, tanpa mengetepikan penekanan terhadap pengukuhan nilai.\n\u201cRedesign content and approach dalam pendekatan pedagogi, space and marketing sekolah juga telah dilakukan bagi membantu pelajar mendapat sokongan komuniti dalam menyediakan diri masing-masing ke tahap yang cemerlang, di samping mempromosikan kerja kepada masyarakat umum,\u201d titah baginda selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan agihan zakat.\nSumbangan agihan telah diberi kepada penduduk di Padang Besar dalam golongan asnaf, antaranya ialah Md. Kasa Zain, 68 tahun. Beliau tinggal bersama-sama ahli keluarganya seramai tujuh orang dan merupakan penerima Bantuan Sara Hidup Berkala MAIPs dan Bantuan Bekalan Elektrik MAIPs.\nHadir sama mengiringi baginda dalam pengagihan zakat ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd. Nazim Mohd. Noor.\nSementara itu, DYTM Raja Muda Perlis menegaskan bahawa masyarakat, khususnya jiran tetangga dalam menyampaikan maklumat kepada pemimpin untuk disampaikan kepada agensi yang terbabit bagi membantu serta membela nasib golongan terkesan yang melanda negeri beberapa hari lalu amatlah penting.\nSelain itu, pihak mangsa juga perlu segera membuat laporan polis selain menyediakan dokumen seperti salinan kad pengenalan, gambar kejadian, serta salinan penyata akaun bank untuk memudahkan proses dan tindakan lanjut bagi penyaluran bantuan atau sumbangan." "Lima Atlet Golf UUM Wakil Malaysia ke Itali\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSebanyak lima atlet golf dari Akademi Golf Nasional (AGN) Universiti Utara Malaysia (UUM) mewakili negara ke Kejohanan Golf Universiti Dunia (WUC) 2022 FISU yang akan berlangsung pada 20 Julai hingga 23 Julai 2022 di Royal Park I Roveri, Torino, Itali.\nAltet terpilih tersebut ialah Muhammad Farez Mohd Azihan, Charlayne Chong Shin Ling, Nur Maisara Saad dan Valerie Vanessa Langkab, yang merupakan pelajar Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Pengurusan Golf), dan seorang pelajar Sarjana Muda Komunikasi, iaitu Muhammad Ikhmal Basry.\nMenurut Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah, kejohanan sukan golf universiti peringkat dunia yang diadakan dua tahun sekali merupakan medan terbaik bagi mereka untuk mengembangkan bakat dalam sukan berkenaan.\nBermainlah seperti juara, buat yang terbaik dan bawa pulang pingat demi mengharumkan nama Malaysia dan UUM.\n\u201cSebagai wakil negara, kita perlu sematkan dalam hati bahawa kita bermain untuk menang. Tunjukkan juga yang anak muda UUM memiliki profesionalisme yang tinggi, fokus dan bijak hadapi tekanan kerana itulah pentas untuk melakar kejayaan,\u201d kata beliau dalam Sesi Perjumpaan Naib Canselor Bersama Atlet Golf UUM, serta Penyerahan Bendera di Bilik Mesyuarat Naib Canselor bagi memberi suntikan semangat kepada atlet berkenaan.\nSementara itu, Muhammad Ikhmal siap siaga menggandakan usaha daripada aspek fizikal dan mental kerana bertanding pada peringkat antarabangsa yang pastinya memberi saingan yang sengit.\n\u201cPerasaan saya amat teruja untuk bertanding dengan pemain hebat di seluruh dunia dan lebih bersemangat untuk mewakili Malaysia dan UUM memandangkan persediaan rapi sejak awal tahun telah dibuat dengan mengikut jadual latihan yang disediakan jurulatih berdedikasi, Wan Rosni Wan Chik.\u201d\n\u201cSasaran saya semestinya pingat emas buat Malaysia. Saya berharap seluruh warga kampus mendoakan kejayaan ini,\u201d katanya yang pernah menjuarai kejohanan dalam pertandingan Malaysia Amateur Closed 2018, Era Sport Hainan Junior Golf Tour 2019, serta merangkul pingat perak di ASEAN University Games Myanmar 2018 dan Sukma XIX Perak 2018.\nKejohanan yang dihoskan oleh Turin University Sports Center itu menyaksikan empat acara dipertandingkan, iaitu acara individu lelaki dan wanita, serta berpasukan lelaki dan wanita.\nSementara itu, Pengarah AGNUUM selaku pengurus pasukan, Profesor Madya Dr. Azman Yasin berkata, Malaysia menyasarkan kutipan pingat pada kejohanan kali ini memandangkan pingat terakhir yang dikutip adalah pada kejohanan tahun 2014.\nKatanya, pemilihan ke kejohanan terbesar peringkat universiti dunia ini dibuat berdasarkan pencapaian terbaik pemain pada kejohanan golf peringkat kebangsaan dan kejohanan Golf Matchplay IPT yang berlangsung pada tahun 2021 dan terpilih secara merit untuk mewakili Malaysia." "Khasiat Buah Kurma dari Perspektif Sains Kesihatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKurma atau tamar ialah sejenis buah daripada tumbuhan palma atau nama saintifiknya\u00a0 Phoenix dactylifera. Pokok kurma dalam\u00a0 bahasa\u00a0 Arab\u00a0 disebut\u00a0 sebagai nakhl, manakala\u00a0 buahnya\u00a0 yang matang dipanggil tamar. Pokok kurma hidup subur di persekitaran yang kering dan berpasir, terutamanya di Mesir, Arab Saudi dan negara Timur Tengah. Pokok kurma mengambil masa empat hingga tujuh tahun selepas ditanam untuk berbuah. \u00a0Buahnya boleh dimakan sama ada yang masak atau yang mentah. Terdapat lima peringkat kematangan buah kurma, iaitu hababauk, kimri, khalal, rutob (kurma basah) dan tamar (kurma kering). Terdapat lebih daripada 200 jenis kurma yang terdapat di seluruh dunia. Antara jenis kurma yang popular di Malaysia ialah kurma ajwa, medjoul, safawi, mabroom, deglet nour dan mariami. Pengambilan buah kurma dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia termasuk di Malaysia sudah tidak asing lagi, terutamanya sebagai hidangan berbuka puasa dalam bulan Ramadhan sebagai memenuhi tuntutan sunnah. Dalam kalangan penduduk di negara Arab, kurma merupakan makanan utama mereka. Selain dari rasanya yang manis dan tahan lama serta tidak perlu dimasak, kurma juga mempunyai banyak khasiat dan disukai oleh Rasulullah s.a.w.\n\u00a0\nKhasiat Kurma Menurut Al-Quran dan Hadis\nKurma mempunyai nilai yang sangat penting dalam agama Islam. Terdapat 20 ayat al-Quran daripada 17 surah yang menyebut tentang pohon kurma dan buah kurma, antaranya ialah nasihat kepada Mariam semasa dalam kesakitan di saat hendak bersalin ketika mengandungkan Nabi Isa, melalui firman Allah s.w.t. yang bermaksud: \u201cDan goncanglah pangkal pohon kurma ke arahmu pasti pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu. Maka makan dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan\u201d (Al-Quran, 19: 25-26).\nKurma ialah antara jenis buah atau makanan kegemaran Rasulullah s.a.w. Aisyah r.a., isteri Rasulullah s.a.w., berkata: \u201cAda ketikanya dapur rumah kami tidak berasap selama sebulan. Yang ada hanyalah buah tamar dan air.\u201d (Riwayat Bukhari dan Muslim). Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w. bersabda: \u201cRumah yang tidak ada kurma di dalamnya, penghuninya kelaparan\u201d. (Hadis Riwayat Muslim (no: 2046).\nTerdapat banyak hadis Rasulullah s.a.w. berkaitan dengan kebaikan buah kurma, antaranya ialah\u00a0 yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud : \u201cDiceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya (Said bin Abi Waqash) meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: \u201cBarang siapa setiap pagi\u00a0 memakan tujuh biji kurma Ajwa, maka pada hari itu ia akan terhindar dari racun dan sihir\u201d. (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5025).\nAnas ibn Malik berkata, \u201cBahawasanya Rasulullah\u00a0 s.a.w\u00a0 berbuka\u00a0 puasa\u00a0 dengan\u00a0 beberapa\u00a0 biji\u00a0 rutob sebelum\u00a0\u00a0 solat,\u00a0\u00a0 jika\u00a0\u00a0 tiada rutob,\u00a0\u00a0 maka\u00a0\u00a0 Rasulullah\u00a0\u00a0 akan mengambil tamar, jika tiada baginda akan meminum air (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi). Hadis\u00a0 ini\u00a0 menerangkan\u00a0 hikmah memakan\u00a0 kurma\u00a0 dahulu\u00a0 ketika\u00a0 berbuka\u00a0 puasa kerana kurma berupaya memberi tenaga segera.\n\u00a0\nKhasiat Kurma dari Perspektif Sains Kesihatan\nKurma mengandungi banyak vitamin dan mineral penting, dan kandungan mineral dalam kurma kering boleh berbeza dari 0.1 hingga 916 mg/100 gram. Kurma mengandungi paras selenium, kuprum, kalium dan magnesium yang tinggi, kepekatan mangan, besi, fosforus dan kalsium yang sederhana serta boron dalam kuantiti yang kecil. Varieti kurma juga didapati sebagai sumber selenium yang sangat baik. Kandungan kalium yang tinggi dan rendah natrium dalam kurma sesuai untuk mereka yang menghidap hipertensi. Boron berguna dalam rawatan kanser otak. Boron dan vitamin juga digunakan dalam rawatan reumatik. Kurma boleh digunakan sebagai suplemen untuk kekurangan zat besi tanpa sebarang kesan sampingan seperti loya, sakit kepala dan anoreksia yang mungkin berlaku dengan suplemen tablet besi.\nKurma juga kaya dengan pelbagai vitamin. \u00a0Berbanding buah-buahan kering yang lain, kurma boleh dianggap sebagai sumber vitamin yang baik. Kurma segar mengandungi kepekatan vitamin yang lebih tinggi berbanding kurma kering kerana vitamin akan hilang semasa proses pengeringan. Kurma kering boleh dianggap sebagai sumber sederhana vitamin ribofavin, piridoksin, niasin dan asid folik. Thiamin, asid askorbik (vitamin C), dan vitamin A terdapat dalam kepekatan yang agak rendah dalam kurma kering.\nKurma ialah sejenis buah yang tinggi nutrien berbanding dengan buah-buahan lain yang biasa diambil oleh manusia. Kurma merupakan makanan tunggal yang bukan sahaja berfungsi sebagai buah, tetapi juga sebagai makanan ruji (seperti nasi dan gandum) yang boleh membekalkan keperluan tenaga harian. Selain itu, kurma juga tinggi antioksida yang bertindak sebagai teraputik dalam mengawal pelbagai jenis penyakit seperti penyakit akibat jangkitan kuman, kanser dan diabetes.\n\u00a0\nSelain tinggi vitamin dan mineral, buah kurma ialah sumber yang kaya dengan fiber atau serat, iaitu 6.4% hingga 11.5% bergantung kepada jenis dan tahap kemasakan. Pengambilan 100 gram kurma setiap hari dapat memenuhi 32% daripada saranan pengambilan serat harian. Serat mempunyai banyak manfaat teraputik termasuklah menurunkan aras kolesterol darah dan risiko banyak penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi, kanser kolon, dan penyakit jantung.\n\u00a0\nKarbohidrat terutamanya gula dalam bentuk semula jadi (sukrosa, glukosa dan fruktosa) merupakan komponen utama buah kurma yang meliputi sehingga 78%. Kandungan glukosa, fruktosa dan sukrosa dalam julat masing-masing ialah 29.04 hingga 34.53 g/100 g, 20.72 hingga 23.65 g/100 g, dan 1.86 hingga 2.34 g/100 g. Gula semula jadi di dalam kurma mudah dihadamkan dan melalui proses metabolisme untuk ditukarkan kepada tenaga untuk kegunaan tubuh manusia. Keadaan ini amat sesuai dengan sunnah Rasullullah s.a.w. yang menggalakkan umat Islam yang berpuasa, berbuka puasa dengan kurma kerana kurma menyediakan tenaga segera selepas lebih kurang 14 jam berpuasa.\n\u00a0\nIndeks glisemik (GI) ialah sistem pengelasan makanan berdasarkan kepada berapa cepat makanan yang mengandungi karbohidrat meningkatkan paras gula (glukosa) dalam darah\u00a0seseorang selepas makanan tersebut dimakan. Suatu makanan dikelaskan mengikut indeks glisemik sama ada glisemik rendah (nilainya kurang daripada 55), sederhana (55 \u2013 69) atau tinggi (70 atau lebih). Kajian mendapati buah kurma termasuk dalam makanan yang mempunyai indeks glisemik (GI) yang rendah, iaitu antara 35.5 hingga 47.2. Nilai GI buah kurma pula adalah setanding atau lebih rendah berbanding dengan buah epal (GI=36), pisang (GI=53), limau oren (GI=43), dan buah kiwi (GI=53).\nSatu kajian yang diketuai oleh Dr. Juma M Alkaabi dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Emiriah Arab Bersatu pada tahun 2011 telah membandingkan nilai GI antara kumpulan pesakit diabetis jenis 2 dan kumpulan kawalan selepas diberi makan lima varieti buah kurma dalam kuantiti 50 g karbohidrat sehari pada hari yang berlainan. Kajian mendapati tiada perbezaan signifikan nilai GI di antara kedua-dua kumpulan untuk kelima-lima jenis buah kurma tersebut. Kajian juga mendapati pengambilan kelima-lima jenis kurma oleh pesakit diabetes tidak menyebabkan peningkatan glukosa darah post-prandial.\nBuah kurma dapat mengawal aras glukosa darah dan memberi manfaat kepada pesakit diabetes kerana ia mempunyai nilai GI yang rendah di samping tinggi serat dan antioksida. Kesan GI yang rendah adalah dikaitkan dengan kandungan fruktosa yang tinggi di dalam buah kurma. Kajian mendapati nisbah glukosa \u2013 fruktosa adalah 1.2 di dalam rutab dan 1.1 di dalam kurma.\n\u00a0\nKurma mengandungi mineral tinggi seperti selenium, copper, potassium dan magnesium, sederhana kandungan manganese, zat besi, phosphorus dan kalsium serta mengandungi kuantiti boron yang sedikit. Kandungan magnesium dan potassium yang tinggi serta sodium yang rendah di dalam kurma sesuai dalam mengawal tekanan darah. Peranan magnesium dikatakan dapat meningkatkan keberkesanan ubat yang digunakan untuk mengawal tekanan darah. Tekanan darah yang tinggi merupakan faktor risiko utama terhadap penyakit jantung.\n\u00a0\nKesemua jenis kurma didapati kaya dengan antioksida, terutamanya poliphenol dan jumlah flavonoid. Satu kajian di negara China melaporkan bahawa kurma ialah buah yang kedua tertinggi dari segi kandungan antioksida daripada 28 buah-buahan yang biasa diambil di China. Berbanding dengan jenis buah kering yang serupa, contohnya buah plum kering dan buah tin, kurma mempunyai kandungan antioksida yang tertinggi, terutamanya polyphenol. Flavonoid pula termasuk dalam kumpulan polyphenol, sejenis antioksidan yang berperanan penting dalam mencegah dan mengawal penyakit kanser. Selain itu kurma dilaporkan mengandungi beta D-glucan yang juga berperanan sebagai antitumor yang boleh mencegah pembentukan sel kanser.\n\u00a0\nTempoh masa yang panjang semasa proses bersalin merupakan penyebab kepada 8% kematian wanita semasa bersalin di negara sedang membangun. Buah kurma dikatakan dapat membantu memudahkan proses kelahiran ketika hampir bersalin. Satu kajian yang diketuai oleh Dr. Al-Kuran \u00a0dari Universiti Sains dan Teknologi Jordan, telah mengkaji kesan pengambilan kurma terhadap prestasi semasa bersalin. Seramai 69 orang ibu mengandung diberi makan 6 biji kurma setiap hari selama 4 minggu sehingga tarikh jangkaan bersalin, dan 45 orang ibu mengandung tidak diberi makan buah kurma. Didapati purata bukaan pintu rahim lebih besar dalam kalangan ibu yang mengambil buah kurma (3.52\u2009cm berbanding 2.02\u2009cm) semasa dimasukkan ke dalam wad, \u00a0serta keupayaan bersalin secara normal adalah 20% lebih tinggi dan tempoh bersalin adalah lebih pendek dan signifikan berbanding dengan mereka yang tidak mengambil buah kurma. Penemuan tersebut diterbitkan dalam Journal of Obstetrics and Gynaecology, Jilid 31, tahun 2011.\nDalam penemuan lain yang diketuai oleh Dr. Masoumeh Kordi dari Fakulti Perubatan Universiti Mashhad, Iran, kajian telah dilakukan ke atas 91 orang ibu mengandung yang diberi makan 70 hingga 76 gram buah kurma setiap hari bermula minggu ke-37 hingga waktu bersalin (kumpulan intervensi), dan 91 orang ibu mengandung yang lain tidak diberi makan buah kurma (kumpulan kawalan).\u00a0 Kajian tersebut mendapati jangka masa fasa aktif, fasa kedua dan fasa ketiga untuk kes kelahiran secara biasa bagi kumpulan intervensi adalah lebih pendek (signifikan) berbanding dengan kumpulan kawalan. Kajian tersebut menyimpulkan bahawa pengambilan buah kurma pada beberapa minggu terakhir tempoh mengandung adalah berkesan dalam membantu pembukaan pintu rahim (cervical dilation), memendekkan masa proses bersalin dan mengurangkan keperluan oksitosin yang digunakan untuk mempercepatkan proses bersalin atau kelahiran secara \u201cinduce\u201d. Penemuan ini diterbitkan dalam Iranian Journal of Nursing Midwifery Research, tahun 2017.\n\u00a0\nAmalan pengambilan buah kurma di Malaysia\nPengambilan buah kurma amat popular dalam kalangan masyarakat Malaysia pada bulan Ramadhan, tetapi tidak berterusan atau sangat rendah di luar bulan Ramadhan. Dalam satu kajian ke atas pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Kelantan, didapati kekerapan pengambilan buah kurma dalam kalangan pelajar IPT dalam bulan Ramadhan adalah tinggi, iaitu lebih 80% mengambil pada kekerapan 1 hingga 3 kali sehari. Keadaan ini adalah selaras dengan tuntutan sunnah berbuka puasa dengan buah kurma. \u00a0Walau bagaimanapun pengambilan buah kurma setiap hari di luar bulan Ramadhan adalah sangat rendah, iaitu 6.8% hingga 15.6%.\nKajian lain dalam kalangan orang dewasa dalam sebuah komuniti di Selangor melaporkan amalan pengambilan buah kurma adalah rendah, iaitu cuma 17% responden mengambil pada setiap hari di luar bulan Ramadhan dan 35% mengambil buah kurma pada bulan Ramadhan.\nBuah kurma kaya dengan tenaga, nutrien dan antioksida serta mempunyai banyak kebaikan ke atas kesihatan. Kebaikan buah kurma juga disebut dalam al-Quran dan hadis. Oleh itu, pengambilan buah kurma tidak seharusnya menjadi amalan pada bulan Ramadhan sahaja, tetapi perlu diambil sepanjang tahun kerana buah kurma termasuk dalam kategori buah-buahan. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan supaya setiap orang dewasa mengambil sekurang-kurangnya dua sajian buah-buahan setiap hari bagi mencegah penyakit kronik. Laporan daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) tahun 2019 mendapati 94.9% orang dewasa di Malaysia tidak mengambil buah-buahan yang cukup setiap hari.\u00a0 Pihak kerajaan, NGO, ibu bapa dan individu perlu mengambil langkah yang sesuai untuk menggalakkan pengambilan buah kurma dan buah-buahan yang lain dalam kalangan komuniti dan keluarga di negara ini secara berterusan.\n\u00a0\n\nPenulis, Pensyarah di\u00a0Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia." "MAIPs Sumbang RM5000 kepada Tabung Ibnu Sabil untuk Rakyat Malaysia di Jepun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 \u201cTahun 2022 merupakan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara negara Malaysia dan Jepun serta ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur. Hubungan antara kedua-dua negara mula terjalin pada tahun 1957 dan pada tahun 2015 pula, keakraban hubungan ini dinaik taraf daripada Enhanced Partnership kepada Strategic Partnership. Selain itu, kedua-dua negara dijangka bakal menaik taraf hubungan kerjasama sedia ada ke peringkat yang lebih komprehensif, iaitu Comprehensive Strategic Partnership (CSP) berdasarkan status hubungan Malaysia dan Jepun yang terus berkembang maju,\nDi samping itu, Malaysia melalui Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NIID), Agensi Farmaseutikal dan Peralatan Perubatan (PMDA) serta Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan Malaysia (NPRA) telah menjalin hubungan kerjasama dengan Jepun dalam bidang teknologi vaksin COVID-19. Bahkan Malaysia turut berminat mengadakan latihan teknikal bersama-sama Jepun dengan fokus kepada ujian identiti, potensi dan integriti untuk pembangunan vaksin COVID-19\u201d, sembah Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, Jepun, Nor\u2019Azam Mohd Idrus kepada Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika menyambut keberangkatan tiba baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo, Jepun.\nKetibaan baginda disertai Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta puteri dan putera baginda berdua, iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Tuanku Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan YAM Tuanku Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail. Turut hadir menyambut ketibaan baginda ialah Setiausaha Ketiga (Konsular dan Protokol), Mohd Farriq Osman.\nDalam majlis yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM5000 kepada Tabung Ibnu Sabil untuk membantu rakyat Malaysia yang berada dalam kesusahan di Jepun.\nMenurut Nor\u2019Azam Mohd Idrus, Malaysia amat berminat untuk meningkatkan tahap kerjasama dengan Jepun yang diiktiraf sebagai peneraju utama dunia dalam inovasi digital dan hab keusahawanan. Bahkan Jepun juga sangat agresif dalam meneroka peluang pelaburan berasaskan teknologi hijau untuk mencapai pengurangan pelepasan karbon di udara.\n\u201cMelalui pelbagai kajian dan pemerhatian, Malaysia merupakan rakan strategik Jepun yang mempunyai potensi besar berdasarkan kelebihan dan kekuatan negara. Hal ini disokong dengan beberapa perjanjian yang dimeterai antara pelabur Jepun dengan pelbagai syarikat serta organisasi dari Malaysia. Berdasarkan rekod statistik pelaburan yang diluluskan dan dilaksanakan, pelaburan asing dari Jepun amat penting untuk Malaysia terutamanya sektor elektronik dan elektrik, bahan dan produk kimia, produk galian bukan logam, peralatan pengangkutan dan produk petroleum merangkumi petrokimia\u201d, ujar Nor\u2019Azam Mohd Idrus." "\u201cSembang Integriti: Rasuah dan Salah Guna Kuasa\u201c Mencegah Budaya Rasuah dalam Kalangan Penjawat Awam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Unit Integriti telah menganjurkan Sembang Integriti: Rasuah dan Salah Guna Kuasa pada 18 Julai 2022 (Isnin) pukul 9.30 pagi. Majlis yang diadakan secara langsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP boleh ditonton secara dalam talian menerusi platform media sosial DBP seperti Facebook, Twitter dan JendelaDBP.\nMajlis sembang ini menampilkan seorang panel jemputan, iaitu Tuan Muhammad Asri Dollah, Ketua Unit Integriti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Manakala Norhasmanalinda Mustapa dari Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP selaku moderator dan pengacara majlis.\nMelalui gandingan ahli panel dan pengacara berpengalaman selaku moderator, tujuan utama sembang ini dianjurkan adalah untuk mengupas tentang gejala rasuah dan salah guna kuasa yang semakin berleluasa dalam kalangan penjawat awam era ini di samping tanggungjawab penjawat awam untuk membanteras budaya rasuah serta mengenal pasti jenis-jenis rasuah yang sering berlaku dalam sesebuah jabatan atau organisasi, khususnya dalam jabatan-jabatan kerajaan.\nSembang dimulakan oleh Tuan Muhammad Asri Dollah yang berkongsi tentang enam peruntukan undang-undang yang terdapat dalam negara Malaysia bagi membendung gejala rasuah. Antaranya termasuklah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Seksyen 165 Kanun Keseksaan, Seksyen 213-215 Kanun Keseksaan (mengambil atau menawarkan hadiah), Seksyen 403-409 Kanun Keseksaan (Jenayah Pecah Amanah), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) serta Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat No. 22, 1970 \u2013 Kesalahan salah guna kuasa dan percanggahan kepentingan.\nTuan Muhammad Asri Dollah turut mengupas tentang jenis-jenis kesalahan rasuah menurut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang merangkumi empat cabang, iaitu meminta dan menerima rasuah, menawar dan memberi rasuah, mengemukakan tuntutan palsu dan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan.\nDalam majlis yang sama, Tuan Muhammad Asri Dollah menjelaskan tentang hukuman jika disabitkan bersalah kerana rasuah yang meliputi hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda sebanyak lima kali ganda nilai suapan, atau RM 10 ribu bergantung kepada mana-mana yang lebih tinggi.\n\u201cTerdapat tujuh tanda seseorang itu terlibat dengan jenayah rasuah. Tujuh tanda tersebut adalah perubahan gaya hidup mewah secara tiba-tiba, kegagalan menjelaskan punca perolehan harta, enggan dinaikkan pangkat atau ditukarkan, panggilan telefon yang mencurigakan, suka hidup berlagak seperti orang kaya, peletakan jawatan secara tiba-tiba dan perhubungan rapat antara pelanggan syarikat dengan jabatan,\u201d ujar Tuan Muhammad Asri Dollah.\nMenurut Tuan Muhammad Asri Dollah, berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh SPRM, terdapat tujuh kaedah bagi menghindari jenayah rasuah daripada berlaku. Tujuh kaedah tersebut adalah seperti berikut:\n\u201cTiada pemberi, tiadalah penerima. Rasuah dihina, maruah dibina. Sikap yang tidak cakna, sambil lewa dan terlampau percaya kepada seseorang menjadi faktor utama ketirisan rasuah dalam kalangan penjawat awam,\u201d kata Tuan Muhammad Asri Dollah.\nTurut hadir memeriahkan majlis adalah Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah DBP dan Dr. Rusmadi Baharudin, Ketua Bahagian Perkamusan DBP." "Kerjasama Strategik Forum Kandungan-DBP Memacu Penggunaan Bahasa Melayu yang Baik dalam Komunikasi dan Multimedia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kunjungan Hormat Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia atau dikenali sebagai Forum Kandungan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Bilik Mesyuarat Urus Setia Lembaga Pengelola, Menara DBP, pada petang tadi membuka ruang perbincangan yang seterusnya membawa kepada kerjasama strategik antara Forum Kandungan dengan DBP dalam usaha memacu penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam kalangan masyarakat Malaysia melalui kandungan berbentuk komunikasi dan multimedia.\nDalam sesi kunjungan hormat tersebut, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran menyambut baik usaha Forum Kandungan untuk menjalinkan kerjasama dengan DBP. Beliau berpandangan, pelbagai bentuk kerjasama boleh dilaksanakan, antaranya melalui kempen kesedaran tentang kesantunan berbahasa serta penganjuran pelbagai bentuk aktiviti yang melibatkan masyarakat khususnya golongan muda dan anak remaja, malah setiap kerjasama yang dilaksanakan bersama-sama bakal memberikan impak yang lebih besar sekiranya turut disertai oleh wakil media di Malaysia. YBhg. Datuk Abang Sallehuddin mengalu-alukan kerjasama daripada Forum Kandungan dalam penganjuran program khususnya berkaitan dengan bidang komunikasi dan multimedia yang bersesuaian dengan peranan yang dimainkan oleh DBP.\nMenurut Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBhg. Tuan Haji Md. Johari Hasan, pada sekitar tahun 1990-an hingga 2005, DBP mempunyai hubungan yang baik dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Forum Kandungan. Banyak perundingan dilaksanakan bersama-sama untuk membincangkan mengenai laras bahasa, bahkan pada masa itu, melalui Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta yang disampaikan menerusi Majlis Citra Wangsa, pengiktirafan diberikan kepada penggiat drama, penyiar, pengiklan, drama televisyen serta penulis skrip dan sari kata yang menggunakan bahasa Melayu yang baik dalam komunikasi dan multimedia. Dalam hal ini, kegiatan tersebut boleh diperluas melalui kerjasama antara DBP dengan Forum Kandungan.\nForum Kandungan merupakan sebuah badan pengawalseliaan kendiri bebas yang mentadbir kandungan dan mengendalikan isu-isu yang berkaitan dengan kandungan berbentuk komunikasi dan multimedia di Malaysia. Forum Kandungan ditubuhkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 pada Februari 2001 dan beroperasi sebagai forum industri di bawah SKMM.\nSelaku organisasi pengawalseliaan kendiri, Forum Kandungan disertai oleh pemain utama industri yang terdiri daripada wakil badan penyiar, badan pengiklanan, pencipta kandungan bahkan turut disertai oleh institusi pengajian tinggi di Malaysia.\nMenurut Pengarah Eksekutif Forum Kandungan, Puan Mediha Mahmood, Forum Kandungan bertanggungjawab menggubal dan membangunkan kod dan dasar kandungan negara yang bukan sahaja untuk pengamal industri malah buat pengguna awam. Dalam hal ini, Forum Kandungan turut memfokuskan penglibatan bersama antara industri dengan orang awam di samping bertanggungjawab mengurus aduan dan sebagai perlindungan kepada pengguna kandungan komunikasi dan multimedia negara.\nSesi Kunjungan Hormat Forum Kandungan kepada DBP tersebut dihadiri oleh wakil DBP yang terdiri daripada Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar; Ketua Bahagian Akademi DBP, YBrs. Dr. Santrol Abdullah; serta beberapa orang karyawan DBP. Daripada pihak Forum Kandungan, antara yang turut hadir ialah Wakil Kategori Pengiklan, Encik Khairudin Rahim (4As); Wakil Kategori Penyiar, Encik Mohamad Razlan Abdul Latip (Astro); Wakil Kategori Sivik, Ts. Dr. Syed Agil Sheikh Alsagoff (Universiti Putra Malaysia); Wakil Kategori Pencipta Kandungan, Puan Nur Ilyanna Mohammad Shaharul Hashri (The Star); dan Wakil Eksekutif Forum Kandungan, Encik Afiq Zulhilmi Baharudin." "Kata Kerja Transitif\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nApakah maksud kata kerja transitif?\nDaripada:\nHaliza Osman,\nSemenyih, Selangor." "Ujian Darah Bantu Kesan Gangguan Kesihatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDarah ialah cecair badan yang berfungsi untuk membawa oksigen, nutrien dan hormon dalam badan manusia. Fungsi ini akan dijalankan dengan berkesan apabila sistem-sistem lain dalam badan seperti pernafasan, jantung, buah pinggang, hati dan kelenjar berada dalam keadaan baik. Sekiranya terdapat sistem yang tidak berfungsi dengan sempurna, parameter dalam darah mungkin berubah. Oleh itu, ujian darah boleh membantu mengesan gangguan kesihatan secara umum dan juga boleh mengesan sistem khusus dalam badan yang terganggu.\nKepentingan ujian darah\u00a0\nUjian darah boleh digunakan untuk membuat saringan kesihatan bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang gejala. Contohnya, ujian darah boleh dijalankan untuk mengetahui kandungan gula dan kolesterol dalam darah. Individu yang mempunyai masalah paras gula atau kencing manis dan kolesterol yang berlebihan selalunya tidak mempunyai apa-apa gejala. Walau bagaimanapun, pengesanan awal sangat penting untuk mengelakkan komplikasi jangka masa panjang. Saringan kencing manis disarankan setiap dua tahun sekali bagi golongan yang tidak berisiko setelah mencapai umur 35 tahun. Bagi golongan yang berisiko seperti mempunyai berat badan berlebihan, sejarah keluarga yang menghidap kencing manis, tekanan darah tinggi dan pernah menghidap kencing manis semasa mengandung dan juga sudah mencecah umur 40 tahun ke atas, ujian saringan kencing manis perlu dilakukan setahun sekali.\nUjian darah juga digunakan untuk mengesan penyakit tertentu, terutamanya apabila mempunyai gejala. Pegawai perubatan atau kakitangan kesihatan akan melakukan ujian darah ke atas individu berdasarkan gejala yang dialami. Selalunya, gejala yang dialami akan memberi panduan kepada kakitangan kesihatan untuk memilih jenis ujian darah yang diperlukan. Sebagai contoh, pesakit dengan gejala berdebar yang berlarutan, selalu berpeluh dan mempunyai penurunan berat badan walaupun mempunyai selera makan, ujian pengesanan melihat paras hormon tiroid akan dijalankan. Adalah penting untuk pesakit memberikan maklumat kesihatan terperinci kepada kakitangan kesihatan untuk menjalankan ujian darah yang bersesuaian. Saringan untuk semua jenis penyakit sekali gus adalah tidak praktikal dan menyebabkan pembaziran darah dan material untuk menganalisis ujian darah. Selain itu, ujian darah juga dapat membantu mengenal pasti kuman yang berada dalam badan dengan mengesan paras antibodi kepada kuman tertentu yang mengakibatkan pesakit dalam keadaan kritikal. \u00a0Penentuan paras hemoglobin juga memerlukan pemeriksaan ujian darah.\nNamun begitu, tidak semua keadaan memerlukan ujian darah. Ujian darah hanya akan dibuat sekiranya pesakit disyaki menghidap penyakit tertentu yang boleh dikesan melalui ujian darah. Di jabatan kecemasan contohnya, ujian awal selalunya digunakan untuk mengetahui keadaan umum pesakit bagi memberikan bantuan awal yang diperlukan. Contohnya, apabila pesakit datang dengan muntah yang berlarutan dan teruk, pegawai perubatan akan membuat pemeriksaan badan untuk mengetahui tahap dehidrasi pesakit. Ujian darah diperlukan ketika ini untuk membantu melihat sama ada kandungan garam telah berkurangan akibat daripada muntah yang berterusan. Sekiranya perlu, ujian darah tambahan akan dibuat untuk mengesan punca pesakit muntah. Muntah boleh disebabkan oleh keracunan makanan, yang mana ujian darah untuk mengetahui punca muntah tidak diperlukan. Tetapi sekiranya pesakit disyaki muntah disebabkan oleh masalah hormon yang tidak stabil atau disebabkan oleh tekanan tinggi dalam saluran cecair otak, ujian darah perlu dijalankan untuk mengesan kemungkinan masalah ketumbuhan dalam otak yang menyebabkan paras hormon tertentu meningkat. Ujian darah akan memberi sokongan kepada kemungkinan diagnosis hasil daripada kisah riwayat penyakit dan pemeriksaan badan pesakit.\n\u00a0\nPersediaan sebelum pengambilan darah\nPersediaan pesakit sebelum darah diambil adalah sangat penting bagi memastikan keputusan darah yang dikeluarkan adalah tepat dan boleh digunakan dengan yakin untuk membuat rumusan keadaan pesakit. Sebagai contoh, sekiranya pesakit gagal untuk berpuasa selama 8 hingga 12 jam sebelum menjalankan ujian paras gula dan kolesterol dalam badan, keputusan ujian yang dikeluarkan mungkin tidak dapat digunakan untuk tujuan rawatan dan perlu diulang. Sesetengah ujian darah memerlukan pesakit datang pada sebelah pagi kerana ujian darah tersebut hanya sah sekiranya dilakukan pada waktu pagi. Kebiasaannya, ujian untuk melihat paras hormon dalam darah dilakukan pada sebelah pagi kerana julat rujukan hormon yang dianalisis merujuk kepada kandungan paras hormon pada waktu pagi. Sekiranya ujian ini dilakukan pada sebelah petang, keputusan ujian dikhuatiri tidak akan diinterpretasikan dengan tepat. Pegawai perubatan dan pesakit perlu mempunyai komunikasi yang jelas terutamanya apabila melibatkan ujian darah yang memerlukan pesakit menunda waktu makan ubat atau perlu memberhentikan ubat tertentu sebelum mengambil darah. Terdapat keputusan darah yang memerlukan tarikh hari pertama haid dicatatkan untuk tujuan interpretasi kerana paras normal parameter darah tersebut berbeza mengikut kitaran haid.\n\u00a0\nApa yang berlaku semasa proses pengambilan darah\nPengambilan darah selalunya dilakukan dalam keadaan duduk di kerusi atau baring di atas katil. Postur badan selalunya tidak memberi kesan signifikan kepada keputusan ujian. Tetapi, ada jenis ujian darah yang perlu diambil setelah pesakit duduk sekurang-kurangnya 15 minit di kerusi untuk menstabilkan paras parameter tertentu dalam darah seperti paras renin, iaitu protein yang keluar daripada ginjal. Dalam kajian spesifik untuk sesuatu penyakit, ada darah yang perlu diambil setelah pesakit mengalami kekurangan gula yang signifikan atau selepas melakukan senaman berintensiti tinggi untuk melihat respons pengeluaran hormon kortisol dan hormon pertumbuhan dalam badan pesakit.\u00a0 Komunikasi yang baik antara pesakit dan pegawai perubatan amat diperlukan untuk memastikan darah yang diambil berguna untuk perawatan pesakit.\nDarah diambil daripada saluran vena atau saluran arteri. Kebanyakan jenis ujian hanya memerlukan darah vena kecuali untuk melihat kandungan gas oksigen dalam darah arteri terutamanya untuk pesakit yang mengalami sesak nafas. Kulit akan dicuci dengan larutan alkohol dalam peratusan yang boleh mematikan bakteria, virus dan fungus sebelum jarum dimasukkan ke dalam saluran darah untuk mengelakkan jangkitan. Ikatan dilakukan untuk pengambilan darah vena di bahagian atas tempat jarum dimasukkan untuk memudahkan darah vena dikenal pasti. Selepas darah dikeluarkan, bahagian tusukan jarum perlu ditekan sehingga darah berhenti. Selalunya darah akan berhenti dalam tempoh yang singkat sahaja. Tetapi sekiranya tempat tusukan jarum masih mengeluarkan darah melebihi 10 hingga 15 minit, pesakit perlu berjumpa dengan pegawai perubatan segera. Darah akan dimasukkan ke dalam tiub tertentu, dengan isi padu yang ditetapkan dan bergantung kepada jenis ujian yang dipilih.\nKesan sampingan selalunya tidak ketara semasa dan selepas darah diambil. Antara kesan sampingan ialah alergi kepada alkohol yang digunakan untuk mencuci kawasan tusukan, sakit disebabkan oleh tusukan jarum atau terkena saraf, lebam pada bahagian tusukan, atau hematoma, iaitu sedikit bengkak dan merah di tempat tusukan jarum. Selalunya komplikasi ini akan hilang dengan sendiri tanpa memerlukan rawatan susulan. Pesakit perlu merujuk pegawai perubatan semula sekiranya terdapat komplikasi yang teruk . Selepas darah diambil, tiada sebarang aktiviti yang perlu dihadkan kepada pesakit atau individu.\n\u00a0\nBagaimana darah ini diproses \u00a0\nSetelah darah diambil, darah tersebut akan didaftar ke dalam sistem klinik atau hospital dan seterusnya dihantar ke makmal. Di makmal, darah tersebut akan dipastikan daripada pesakit yang didaftarkan. Pemprosesan sampel darah dijalankan di makmal khusus, bergantung kepada jenis ujian yang dipilih oleh pegawai perubatan. Staf makmal akan memastikan kawalan mutu alat yang digunakan dalam keadaan baik sebelum memproses darah. Darah tersebut akan melalui proses tapisan mata kasar dan secara halus untuk melihat sama ada darah tersebut dalam keadaan baik atau rosak. Darah yang rosak, membeku atau sel darah merah telah pecah dengan teruk, tidak akan diproses kerana berpotensi mengeluarkan keputusan ujian yang salah. Setelah pemeriksaan awal mendapati darah dalam keadaan baik, maka analisa ujian dijalankan. Apabila keputusan ujian dikeluarkan oleh alat, staf atau pegawai perubatan makmal akan melakukan pengesahan atau pemeriksaan untuk memastikan keputusan yang dikeluarkan adalah tepat dan jitu, dan seterusnya dihantar ke sistem klinik atau hospital.\n\u00a0\nKenali keputusan darah anda\u00a0\nSebaik-baiknya pesakit digalakkan cuba memahami sedikit sebanyak keputusan darah masing-masing, terutamanya yang melibatkan penyakit kronik. Pesakit kencing manis perlu dibiasakan untuk mengawal sendiri paras gula dalam darah. Paras HbA1c akan digunakan untuk mengawasi gula dalam darah untuk tempoh 3 bulan dari masa darah diambil. Bacaan paras gula dan HbA1c yang tidak berpadanan menunjukkan pesakit hanya mengawal gula dalam darah beberapa hari sebelum darah diambil. Pegawai perubatan boleh menerangkan kepada pesakit kepentingan ujian darah yang dibuat. Sebagai contoh, paras urea dan creatinine untuk melihat fungsi ginjal, paras albumin, koagulasi dan enzim hati (ALT, AST) untuk melihat fungsi hati. Sel jantung yang mati akan mengeluarkan protein seperti troponin dan enzim sel jantung. Sel jantung akan mati apabila tidak mendapat bekalan oksigen dan darah yang mencukupi disebabkan oleh saluran jantung tersumbat (serangan sakit jantung). Oleh itu, selain pemeriksaan jantung dengan alat elektrokardiogram, pesakit juga akan menjalani ujian darah untuk mengesahkan diagnosis serangan jantung. Bagi pesakit yang mengalami masalah kecelaruan hormon seperti tiroid, hormon dari kelenjar adrenal dan sebagainya, pesakit perlu memahami keputusan ujian supaya dapat memahami keadaan penyakit sendiri dan berusaha untuk mengawal keadaan penyakit masing-masing." "Anjakan Paradigma ke Arah Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menzahirkan rasa bangga dengan penglibatan pelajar di negeri Perlis ketika menyertai \u201cWebinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) Siri Ke-10: Program Titian Kasih\u201d yang telah berlangsung secara dalam talian pada 30 Jun 2022, baru-baru ini.\nBaginda bertitah, pelibatan pelajar yang aktif ini menunjukkan bahawa mereka amat peka terhadap isu semasa, khususnya berkaitan dengan pengetahuan am, ilmu tentang negeri sendiri, budaya dan kearifan tempatan.\nMelalui titahnya, baginda menyatakan bahawa pihak berwajib hendaklah berusaha memastikan persekitaran bidang pendidikan yang lebih inklusif dan berdaya maju.\nPelibatan ini amat digalakkan untuk memberi peluang kepada diri mereka sendiri merasai pengalaman kehidupan yang diterapkan melalui Program Titian Kasih bertemakan \u2018Perlis Hebat! Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Segala Tindakan\u2019 tersebut.\nDalam webinar berkenaan, DYTM Raja Puan Muda Perlis merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Naharudeen Othman, atas kerjasama dan komitmen yang tidak terhingga yang diberikan.\nTidak ketinggalan juga, DYTM Raja Puan Muda Perlis juga berterima kasih kepada guru yang banyak berkongsi pengalaman masing-masing untuk dimanfaatkan oleh pelajar kelak. Menurutnya lagi,\nKomitmen guru demi menyediakan anak-anak pelajar dalam menghadapi cabaran global adalah sangat membanggakan.\nDYTM Raja Puan Muda Perlis turut berkenan menyempurnakan sesi menandatangani surat ucapan terima kasih kepada semua fasilitator dan barisan urus setia yang terlibat dalam menjayakan webinar khas anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dengan kerjasama YTF dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis itu." "Enam Tuntutan Politik #MalaysiaTanpaRasuah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nShah Alam \u2013 Enam tuntutan Politik #MalaysiaTanpaRasuah yang disuarakan oleh gerakan #RasuahBusters pada 11 September lalu, terus hangat dibincangkan bagi menuntut keadilan dalam mendesak undang-undang memerangi rasuah dan mengukuhkan integriti.\nAntara tuntutan yang dikemukakan oleh #RasuahBusters bersama-sama lebih daripada 500 wakil gabungan Bersih 2.0, Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Center to Combat Corruption and Cronysm, Transparency International Malaysia (TI-M), Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) dan Undi18, ialah pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP), Akta Dana Politik, Kebebasan Institusi, Akta Anti Lompat Parti, Undi18 dan reformasi parlimen.\nKetua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin berkata, langkah awal mengembalikan negara ke landasan adalah dengan mentranformasikan struktur institusi dan perundangan sebagai agenda utama dalam fasa pemulihan negara.\nUsaha membasmi rasuah harus diperkukuh kerana hal ini merupakan benteng terbaik dalam membangunkan negara dan menyejahterakan rakyat.\n\u201cApabila tiada ketirisan dan rasuah berlaku pada mana-mana sektor, rakyat akan merasai kesemua peruntukan yang disediakan oleh kerajaan dengan penuh syukur,\u201d kata Nurhayati Nordin dalam sidang media Enam Tuntutan Politik #MalaysiaTanpa Rasuah: \u201cApa Dah Jadi?\u201d di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, pagi ini.\nMenurut Ketua Pasukan Rasuah Busters merangkap Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub, sudah hampir setahun tuntutan itu telah dikemukakan, namun segelintir daripada pihak kerajaan dan 220 ahli parlimen tidak menampakkan keseriusan dalam meminda undang-undang berkenaan.\nUntuk mengubah negara ini, kita perlu ada undang-undang dan pemimpin yang lebih baik. Pemimpin yang lebih baik tentunya orang yang mempunyai nilai integriti yang tinggi, malah ideanya lebih baik agar keluar daripada kemelut ini.\nMengulas lanjut, Pengasas dan Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Cynthia Gabriel mengatakan bahawa isu kenaikan harga barang, kemusnahan alam sekitar, ketirisan maklumat, rasuah, salah guna kuasa dilihat kian berleluasa, bahkan memberikan impak ketara kepada ekonomi dan keselamatan negara. Kebebasan dan ketelusan institusi awam perlu diberikan keutamaan agar tidak dipengaruhi oleh tekanan politik.\nBagi menjamin keadilan dan meningkatkan kewibawaan, institusi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya harus diasingkan dan dibebaskan supaya tidak dipengaruhi oleh mana-mana badan eksekutif mahupun tekanan politik,\u201d ujar Cynthia Gabriel.\nJelasnya, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada langkah utama untuk meletakkan institusi tersebut sebagai penentu tadbir urus yang baik di samping menyekat penyalahgunaan kuasa dalam pentadbiran negara.\nSementara itu, Pengasas Undi18, Tharma Pillai berkata, Akta Anti Lompat Parti adalah sangat penting untuk menghentikan ketidakstabilan politik, khususnya dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem pilihan raya.\nDalam perkembangan yang sama, Pengerusi GBM, Dr. Badlishah Sham Baharin menggesa semua pihak agar bertanggungjawab, terutamanya ahli parlimen untuk bertindak sewajarnya dalam menggembleng usaha terhadap pindaan Akta Pembiayaan Dana Politik, selain mendapat sokongan daripada rakyat.\nAkta Pembiayaan Dana Politik bukanlah untuk menyekat ahli politik untuk mendapatkan dana bagi membiayai aktiviti politik mereka. Sebenarnya, hal ini menuntut ketelusan dan kebertanggungjawaban atas wang yang diperoleh daripada penipuan, salah guna wang dan kuasa, serta mengelakkan rasuah,\u201d tegas Dr. Badlishah Sham dalam menangkis politik rasuah yang menjadi penderitaan kepada rakyat.\nDalam hal ini, gerakan #RasuahBusters memandang berat isu ini dan menegaskan bahawa pemulihan negara harus bertunjangkan integriti, prinsip ketelusan dan penguatkuasaan undang-undang melalui kestabilan politik sebagai batu asasnya.\nMaka demikian, #RasuahBusters bersama-sama wakil gabungannya mendesak agar enam tuntutan tersebut diletakkan sebagai agenda utama pembentangan di Parlimen dan rakyat diharap memberi sokongan penuh agar pemulihan negara dapat berjalan secara bersepadu dan holistik.\nAntara panel yang turut hadir dalam sidang media hari ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh, Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann dan Presiden TI-M, Dr. Muhammad Mohan." "Hubungan Diplomatik Malaysia dan Bangladesh Kekal Utuh 50 Tahun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cSaya mengulangi kesediaan Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang dengan Bangladesh,\u201d kata Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob.\nKenyataan tersebut diambil menerusi laman Facebook rasmi beliau semasa menerima kunjungan hormat Menteri Luar Bangladesh, Dr. A. K. Momen di pejabat Perdana Menteri semalam.\nKerjasama dalam pelbagai bidang antara Malaysia dengan Bangladesh adalah merangkumi sektor perdagangan dan pelaburan, ekonomi digital serta sumber manusia dan pekerjaan.\nPada masa yang sama, kedua-dua orang pemimpin negara ini turut membincangkan dan bersetuju berkenaan masalah pengambilan tenaga kerja dari Bangladesh yang memerlukan tindakan dan penyelesaian segera.\nSempena meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Bangladesh, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri berharap agar hubungan baik ini kekal utuh dan makmur pada masa hadapan." "Menjaga Kedaulatan Watan Tanah Melayu Tanggungjawab Bersama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 TV Pertiwi dalam segmen Dimensi telah mengupas isu semasa yang berkaitan dengan kedudukan kedaulatan Melayu yang semakin dipandang remeh sejak kebelakangan ini. Isu penghinaan terhadap Islam dan ancaman terhadap kedudukan Melayu yang semakin menjadi-jadi kini berada di tahap yang merisaukan.\nDimensi telah menjemput Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, seorang juri yang mempelopori Jurisprudens Watan (Local Jurisprudence) untuk membincangkan isu ini dengan lebih lanjut. TV Pertiwi adalah satu daripada platform berita dalam talian yang dikendalikan sepenuhnya oleh Kerengga Merah Sdn. Bhd. (KMSB) dan berdaftar secara rasmi sebagai media atas talian dengan Jabatan Penerangan Malaysia.\nMenurut Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi mengenai sikap segelintir pihak yang mencabar kedaulatan Melayu di negara ini, beliau berpandangan bahawa situasi ini adalah berangkai dan berpunca daripada tindakan dan pemikiran yang berlaku sebelum isu ini timbul lagi.\nUjar beliau,\nPerkataan kedaulatan sering kali bertindak sebagai hiasan dalam ungkapan, ucapan dan tulisan tanpa menghayati maksud perkataan tersebut dan tidak membawa takrifan mengikut undang-undang.\nMengulas definisi sebenar kedaulatan Melayu dan Raja-Raja Melayu dalam tafsiran Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, hal ini merupakan prinsip teras pada suatu undang-undang tempatan seperti yang termaktub dalam Perkara 181(1) yang menyentuh prinsip kedaulatan Malaysia dan disyaratkan oleh Seksyen 3 Akta Undang-Undang Sivil 1956.\nKedaulatan Watan Tanah Melayu menurut Adat Melayu yang berteraskan fahaman Kontinum adalah kepimpinan manusia, termasuklah Raja Melayu adalah sebagai khalifah atau pemegang amanah kedaulatan milik Allah SWT.\nKonsep kedaulatan ini menggariskan sistem politik, undang-undang dan prinsip perundangan yang menjadi panduan mandatori kepada manusia dan sesuai dilaksanakan sepanjang zaman.\nBeliau mengaitkan perkara tersebut dengan zaman campur tangan British di negeri Melayu selepas Perjanjian Pangkor 1874, yakni pihak Inggeris tidak boleh campur tangan dalam urusan agama Islam dan adat Melayu sepertimana yang termaktub dalam perjanjian. Mandat dalam pentadbiran yang diberikan kepada British sehinggalah campur tangan itu ditamatkan melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 adalah atas wibawa kedaulatan Raja Melayu.\nSecara ringkasnya, kedaulatan Melayu merujuk Kedaulatan Raja-Raja kerana Raja ialah Raja-Raja Melayu dan tanah ini ialah Tanah Melayu. Kedaulatan Melayu mesti berpaksikan kepada patuh syariah. Oleh itu, setiap perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam adalah melanggar kedaulatan Melayu.\nDalam konteks realiti pada hari ini, prinsip kedaulatan dibicarakan dari aspek pemikiran dikotomi, iaitu kedaulatan yang diletakkan kepada manusia sama ada bersifat individu atau menunjuk rakyat atau dewan perwakilan. Dari segi pemikiran dan hiburan yang banyak mengorbankan prinsip agama, beliau berkata, penghibur seolah-olah tidak mempunyai modal lain dan berasa lebih berfikiran terbuka apabila menerima perkara yang bercanggah dengan agama. Perkara ini perlu diambil serius apatah lagi negara ini mempunyai penguatkuasaan, undang-undang, pemerintahan berasaskan agama Islam dan pemimpin yang beragama Islam.\nDatuk Dr. Wan Ahmad Fauzi menekankan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai Islam sebagai agama Persekutuan dan agama Negeri dan meletakkan Raja-Raja sebagai pemegang amanah Allah. Malangnya tanpa rujukan sistem perlembagaan negara kita dengan teliti, ada pihak meletakkan demokrasi sebagai prinsip kedaulatan negara dan menggunakan istilah kontrak sosial yang merupakan satu sisi falsafah undang-undang yang meletakkan manusia lebih berkuasa daripada Tuhan.\nKontrak sosial bukanlah rundingan biasa dan bukan juga rundingan antara kaum, tetapi merupakan satu pemikiran atau falsafah yang meletakkan mandat rakyat sebagai kuasa tertinggi untuk menggubal undang-undang walaupun hal tersebut bercanggah dengan hukum syarak. Hal inilah yang dimaksudkan dengan kontrak sosial yang menjadi asas kepada demokrasi, yakni tidak wujud dalam kerangka perlembagaan negara.\nBeliau yang juga merupakan Pensyarah di Universiti Malaysia Pahang (UMP) berpendapat bahawa rakyat perlu bertindak secara proaktif dalam membendung penghinaan dan ancaman Kedaulatan Melayu ini, termasuklah dalam usaha menyampaikan nasihat dan pandangan kepada pihak berkuasa yang kadangkala tidak mempunyai maklumat dan sumber yang cukup.\nMengulas lebih lanjut, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi menegaskan bahawa peraturan perundangan yang perlu difahami oleh rakyat Malaysia. Mereka perlu bersepakat bahawa setiap perkara yang melanggar undang-undang Islam yang dibuat secara terang-terangan lagi terbuka adalah salah dan perlu diambil tindakan tanpa menuding jari kepada sesiapapun. Hal ini perlu dibincangkan dan diperhalusi agar kedaulatan Melayu ini tidak ternoda." "Mangsa Kebakaran Terima Bantuan MAIPs\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPadang Besar \u2013\u00a0Raja Muda Perlis, DYMM\u00a0Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan rasa simpati dan berkenan berangkat meninjau ke rumah asnaf mangsa kebakaran yang berlaku pada Rabu lalu\u00a0di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar semalam.\nDalam tinjauan tersebut, Ketua Polis Daerah Padang Besar, ACP Mohd Shokri Abdullah\u00a0melaporkan mangsa\u00a0yang terbabit dalam bencana tersebut ialah Mokhtar Shamsudin, 65 tahun dan Mastura Mokhtar, 29 tahun\u00a0yang rumah\u00a0mereka telah terbakar sepenuhnya,\u00a0manakala Shahrul Anuar Shariff, 23 tahun, rumahnya terbakar hampir 30 peratus.\nTerdahulu, ACP Mohd Shokri Abdullah\u00a0telah mempersembahkan taklimat kepada baginda, kepimpinan masyarakat setempat serta para pegawai daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan juga Felcra.\nSementara itu, Amil Felcra Lubuk Sireh, Abdul Samat Hamat mewakili keluarga mangsa berkenaan menerima kurniaan Kit MAIPs Peduli dan beras fidyah daripada Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs." "Integriti sebagai Profesion: Program Pentauliahan ACelO-USM dalam Usaha Melahirkan Pengamal Integriti Profesional\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGlugor \u2013 Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) Malaysia dan Universiti Sains Malaysia (USM) telah mencapai kesepakatan bagi membangunkan modul kompetensi melalui pembangunan Program Pentauliahan bagi melahirkan pengamal integriti bertauliah serta profesional.\nAntara program yang dicadangkan ialah:\nKesepakatan ini tercapai hasil daripada Kolokium Integriti & Antirasuah (KIAR) yang dilaksanakan selama dua hari di USM. Program Pembangunan Profesional ini merupakan satu pengiktirafan kepada pengamal integriti seterusnya menjadikan integriti dan antirasuah bukan sahaja sebagai budaya, malahan juga sebagai profesion kepada Keluarga Malaysia.\nInisiatif murni kedua-dua pihak, iaitu ACeIO serta USM ini diharap membuka laluan dan lembaran baharu dalam usaha pembudayaan integriti serta antirasuah dalam kalangan Keluarga Malaysia seterusnya mengangkat martabat Malaysia di mata dunia.\nKIAR 2022 turut menyaksikan USM diisytiharkan sebagai Rakan Integriti ACeIO yang akan bersama-sama dalam menjayakan agenda integriti dan antirasuah nasional. Ini menjadikan USM sebagai institusi pengajian tinggi dalam negara pertama yang telah menjalinkan hubungan kerjasama strategik dengan ACeIO khususnya dalam pembangunan program profesional kepada pengamal integriti.\nKIAR 2022 telah disertai oleh 120 orang Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO), Rakan Integriti dan Pengamal Integriti dari seluruh negara. Sebanyak 22 orang pengamal integriti turut berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam pengurusan integriti serta antirasuah di sektor awam, swasta dan komuniti. Turut menjayakan KIAR 2022 ialah Persatuan Pegawai Penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Johor (PERSAJ)." "KPM Seru Syarikat Korporat Jalin Kerjasama dalam Program Berkaitan dengan Alam Sekitar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Syarikat korporat di negara ini khususnya diseru untuk bersama-sama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melibatkan organisasi masing-masing dalam program berkaitan dengan alam sekitar dan mengembangkan program tersebut secara lebih meluas.\nProgram sebegini penting supaya generasi seterusnya dapat mempunyai rasa keinsafan tentang pentingnya memelihara alam.\nDemikianlah ujar YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan dalam ucapan beliau semasa Program Eksplorasi Alam Lestari yang merupakan satu daripada program kerjasama KPM melalui Yayasan Didik Negara bersama-sama FGV Holdings Berhad, di Zoo Negara, hari ini.\nProgram rintis KPM bersama-sama FGV Holdings Berhad ini diharapkan dapat menerapkan semangat kecintaan terhadap alam sekitar dalam kalangan pelajar sekolah.\nTambah YB Menteri Kanan Pendidikan lagi, Program Eksplorasi Alam Lestari ini merupakan permulaan kepada program yang lebih besar dan akan diteruskan lagi ke pusat konservasi dan juga tempat lain di seluruh negara yang melibatkan hubungan antara pelajar dengan alam sekitar.\nProgram ini merupakan satu komponen di bawah \u201cH\u201d dalam konteks Sekolahku SEJAHTERA, iaitu \u201cHarmoni\u201d kerana kebiasaannya kita bercakap tentang keharmonian manusia sesama manusia; kita jarang bercakap tentang keharmonian antara manusia dengan alam.\nDalam konteks ini, kita ingin lahirkan generasi yang sentiasa dekat dengan alam sekitar dan secara tidak langsung akan menimbulkan kesedaran supaya mereka sama-sama bukan sahaja memastikan kebersihan alam sekitar (terpelihara), tetapi dapat memastikan flora dan fauna terus dapat hidup dengan baik dan generasi pada masa akan datang terus dapat menikmati keindahan alam ini.\n\nProgram ini dimeriahkan lagi dengan persembahan oleh pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan, Petaling Jaya dan turut disertai oleh pelajar daripada beberapa buah sekolah di sekitar Putrajaya.\nTurut hadir memeriahkan program ini ialah Ketua Pengarah Eksekutif FGV Holdings Berhad, Encik Mohd. Nazrul Izam Mansor; Ketua Pengarah Eksekutif Yayasan Didik Negara, Encik Hardian Hadir dan Timbalan Presiden Zoo Negara, Encik Rosly @ Rahmat Ahmat Lana." "Raja Perlis Terima Sembah Pertukaran Panji Rejimen 1 RRD\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menerima sembah mengenai perancangan Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-Panji Pertama Rejimen Renjer DiRaja (1 RRD) dan Rancangan Acara-acara RRD, hari ini.\nPengerusi RRD, Mejar Jeneral Dato\u2019 Dzulkafli Haji Mustaffa menghadap sembah DYMM Tuanku Raja Perlis selaku Tuanku Kolonel Yang DiPertua RRD\u00a0di Balai Menghadap Biru Istana Arau.\nMajlis sembah tersebut telah bersaksikan oleh Raja Muda Perlis, DYTM\u00a0Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia.\nBaginda turut menzahirkan kebanggaannya terhadap pegawai RRD pada hari ini yang sentiasa mengutamakan kepentingan agama, bangsa dan negara.\nSetiap warga RRD hendaklah sentiasa menggenggam erat cogan kata keramat RRD, iaitu \u2018Agi Idup, Agi Ngelaban\u2019 serta titipkan semangat cogan kata ini setiap kali menyertai tugas yang diamanahkan tidak kira dalam negara mahupun luar negara.\n\nAntara senarai pegawai kanan RRD yang hadir dalam majlis sembah pada tengah hari ini ialah Mejar Jeneral,\u00a0Abdul Rahman A.\u00a0Wahab,\u00a0Brigedier Jeneral,\u00a0Datuk Johnny Lim Eng Seng,\u00a0Brigedier Jeneral,\u00a0Sarman Bahrom;\u00a0Brigedier Jeneral,\u00a0Shamsor Haji\u00a0Jaafar dan Brigedier Jeneral,\u00a0Mohd.\u00a0Azmurin Mat Khalib.\nTurut hadir ialah Brigedier Jeneral,\u00a0Abu Hassan Assha\u2019ari Kamis @ Shaffiee, Brigedier Jeneral,\u00a0Kamaralzaman Haji Abd.\u00a0Aziz, Brigedier Jeneral,\u00a0Hashim Osman dan\u00a0Setiausaha RRD, Kolonel Wan Edenin Wan Mahsin." "STB dan SK Utan Aji Juara Kejohanan Bola Kid 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Pasukan Sekolah Tengku Budriah (STB) dan Sekolah Kebangsaan Utan Aji masing-masing muncul juara dalam perlawanan akhir kategori bawah sembilan tahun dan 11 tahun pada Kejohanan Bola Kid 2022 di Stadium Tuanku Syed Putra.\nKejohanan kali ini disertai oleh 56 pasukan yang mewakili sekolah kebangsaan rendah seluruh Perlis dan menjadi medan untuk mengetengahkan bakat pelajar bawah usia dalam bidang sukan bola sepak.\nRaja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berserta anakanda bongsu baginda berdua Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail berkenan menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.\nBagi kategori bawah 9 tahun, pasukan STB berjaya menumpaskan pihak lawan dari pasukan Sekolah Kebangsaan Oran dengan kemenangan tipis 1-0 yang melayakkan mereka memiliki piala pusingan, pingat dan wang tunai berjumlah RM1800.\nPasukan Sekolah Kebangsaan Oran selaku naib juara berjaya membawa pulang pingat dan wang tunai berjumlah RM1500, manakala tempat ketiga diungguli oleh pasukan Sekolah Kebangsaan Kayang yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1000 berserta pingat.\nDalam kategori bawah 11 tahun, pasukan Sekolah Kebangsaan Utan Aji muncul juara menentang pasukan Sekolah Kebangsaan Titi Tinggi dengan keputusan 1-0 serta merangkul piala pusingan, pingat dan wang tunai berjumlah RM1800.\nNaib johan, Sekolah Kebangsaan Titi Tinggi pula berjaya membawa pulang pingat dan wang tunai berjumlah RM1500, manakala pasukan Sekolah Kebangsaan Oran membawa pulang hadiah wang tunai RM1000 berserta pingat sebagai pemenang tempat ketiga." "Bahasa Melayu Tetap Bahasa Kebangsaan Negara Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMemang perkara yang menyedihkan apabila hampir 65 tahun negara mencapai kemerdekaan, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan masih terancam. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana taraf bahasa Melayu telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Yang berlaku itu seolah-olah bahasa Melayu bukan bahasa kebangsaan negara ini dan hal ini juga bertentangan dengan saranan dan harapan Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob yang lalu.\nTegas Perdana Menteri, rakyat Malaysia perlu mempunyai jati diri dalam memartabatkan bahasa Melayu, dan membuktikan bahawa bahasa Melayu tidak mengekang kemajuan negara. Sambil menegaskan banyak negara berjaya mencapai status maju dengan mendaulatkan bahasa sendiri, Perdana Menteri turut meminta seluruh Keluarga Malaysia, terutamanya penjawat awam memberikan komitmen dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.\nSemua sektor, tambah beliau, perlu menggunakan bahasa Melayu dengan sepenuhnya kerana yang merupakan bahasa urusan rasmi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, dan pihak berkuasa awam. Beliau menegaskan bahawa peluasan penggunaan bahasa Melayu hendaklah dilaksanakan di semua jabatan dan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan syarikat swasta. Jadikanlah amalan seperti peribahasa \u201cDi mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung\u201d.\nArahan juga telah dikeluarkan supaya semua urusan membabitkan luar negara, termasuklah surat-menyurat mesti menggunakan bahasa Melayu. Jelas Perdana Menteri, setiap surat yang beliau sendiri hantar kepada pemimpin dunia menggunakan bahasa Melayu, dengan terjemahan bahasa Inggeris sebagai lampiran.\nBeliau juga sudah memulakan rundingan dua hala dengan menggunakan bahasa Melayu, dan rundingan yang menggunakan bahasa berkenaan tiada kekurangan apa-apa pun. Bahasa Melayu juga digunakan semasa Sidang Kemuncak Khas ASEAN\u2212Amerika Syarikat, iaitu ketika bersama-sama Presiden Joe Biden. Ternyata mesej beliau diterima oleh Presiden Amerika Syarikat itu walaupun dalam bahasa Melayu.\nJelas Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia telah menjadi dasar kerajaan dan sebagai satu daripada keutamaan kerangka Dasar Luar Negeri Malaysia yang dilancarkan pada 7 Disember 2021, iaitu diplomasi kebudayaan.\nDewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga telah mengadakan beberapa buah bengkel untuk memastikan urusan pindaan Akta DBP 1959 dapat dilaksanakan secepat mungkin, yang akan memberikan lebih kuasa kepada badan itu menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu.\nTambah beliau, tiada sebab bagi rakyat Malaysia untuk tidak yakin menggunakan bahasa Melayu kerana rakyat negara Perancis, Jerman dan Jepun, menggunakan bahasa ibunda mereka dan hal ini membuktikan bahawa mereka boleh maju berbanding dengan negara lain. Rakyat Malaysia tidak perlu berasa malu menggunakan bahasa Melayu kerana bahasa Melayu tidak boleh dimartabatkan jika diri sendiri tidak berasa yakin.\nWalau bagaimanapun, penulis berpendapat bahawa bahasa Melayu masih tidak berubah ke arah positif, sebaliknya lebih parah sebelum dan selepas saranan Perdana Menteri. Penulis mendapati bahawa di mana-mana program, penganjur acara kelihatan semakin galak menggunakan bahasa Inggeris untuk nama program mereka meskipun hanya bertaraf kebangsaan. Hal ini memang bertentangan dengan \u201carahan\u201d dan saranan Perdana Menteri supaya bahasa Melayu dimartabatkan ke peringkat antarabangsa tetapi dalam negara sendiri penggunaannya semakin merudum.\nMengapakah mereka berbuat sedemikian dan apakah tindakan yang wajar dilakukan terhadap mereka jika boleh disebut sebagai hukuman? Penulis sempat meminta pendapat beberapa orang penulis yang cakna dengan bahasa Melayu mengenai soal ini.\nMustaffa HS menyatakan kehairanan beliau kerana pelanggaran bahasa Melayu semakin galak atau tenat seolah-olah tidak mengendahkan saranan Perdana Menteri yang bersungguh-sungguh mahu mengangkat bahasa kebangsaan negara ini.\nMengenai proses pindaan Akta DBP 1959 untuk memberikan lebih kuasa kepada DBP yang dijangka selesai dalam masa terdekat ini, Mustaffa yang berasal dari Batu Pahat meminta rakyat Malaysia agar bersabar dan menunggu hal ini menjadi kenyataan dan DBP dapat berperanan dengan lebih berkesan.\n\u201cSaya fikir pemilik syarikat berasa bahawa mereka tidak perlu meminta nasihat dan panduan daripada DBP,\u201d kata penulis veteran ini mengenai semakan dan rujukan sebarang iklan daripada DBP tetapi tidak semua pemilik syarikat yang melakukannya.\nMenurut Amir Hamzah Mohd. Wazir dari Ipoh, Perak, pihak yang mempunyai kuasa wajar membuat teguran dan perlu cakna dengan perkara sebegini.\n\u201cBegitu pun, sama-samalah kita menantikan bagaimana dan sejauh mana akta ini berfungsi nanti setelah diwartakan,\u201d kata Amir Hamzah mengenai pindaan Akta DBP 1957 untuk memberikan kuasa yang lebih kepada DBP. Penulis kreatif ini berpendapat, mungkin tiada ketegasan dan kesungguhan dalam menggalakkan pemilik syarikat meminta nasihat daripada DBP, lantaran tidak semua mereka berbuat sedemikian.\nAlias Haji Muda yang juga pakar motivasi pula berpendapat, rasa rendah diri dan malu berbahasa Melayu kerana dilihat bermutu rendah, serta rasa hebat apabila berbahasa Inggeris menjadi antara punca krisis ini.\n\u201cAnggota masyarakat juga malu atau malas dan takut menegur. Mereka juga berasa hal ini bukan perkara penting, lantas tidak mempedulikannya,\u201d kata beliau yang juga mantan pegawai di Majlis Amanah Rakyat.\nMengenai semakan dan rujukan kepada DBP, Alias berpendapat bahawa mereka yang tidak mendapatkan khidmat tersebut barangkali kerana DBP hanya bertumpu tidak lebih dari segi penggunaan ejaan, bahasa yang tepat dalam iklan, nama syarikat, jenama produk terutama yang di papan tanda sahaja, pelabelan dan pembungkusan.\n\u201cDBP sebagai tempat rujukan untuk penterjemahan perkataan dalam bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu atau sebaliknya, serta penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda iklan,\u201d tambah Alias.\nSementara itu, wartawan sebuah portal, Arif Atan meminta agar kerajaan mempercepat pemberian kuasa yang lebih kepada DBP, dan tidak perlu menunggu lagi." "Program MFLS Beri Pendedahan Sistem Pemerintahan Beraja kepada Belia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Program anjuran Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia merupakan modul program di bawah elemen kenegaraan,\u00a0iaitu Institusi Beraja. Modul ini bertujuan untuk mendekatkan rakyat,\u00a0terutamanya golongan belia dengan institusi beraja,\u00a0selain memahami realiti dan fakta tentang kepentingan sistem pemerintahan beraja atau sistem kesultanan.\nPara peserta Program Malaysia Future Leaders School (MFLS) Tier 3 Tahun 2022 amat teruja dengan komitmen dan keramahan mesra Raja Muda Perlis,\u00a0DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berserta Raja Puan Muda Perlis, DYTM\u00a0Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ketika berkenan berangkat menghadiri \u201cMajlis Titipan Titian Kasih Bersama DYTM Tuanku Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis\u201d yang diadakan di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada petang semalam.\nObjektif utama program ini adalah bertunjangkan tujuh elemen,\u00a0iaitu kepimpinan, kenegaraan, pembentukan watak dan jati diri, keusahawanan, kesukarelawanan, komunikasi dan pengantarabangsaan. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah \u201cBicara Tokoh\u201d, \u201cBicara Ikon\u201d, \u201cBicara Kenegaraan\u201d, \u201cBicara Jati Diri\u201d, aktiviti kesukarelawanan, lawatan institusi, perbahasan ala parlimen dan komunikasi berimpak tinggi.\nMenurut i-LEAD, program ini telah memasuki tahun ketiga pelaksanaannya dan dilaksanakan secara bersemuka sepenuhnya bermula pada 16 hingga 30 Julai 2022. Jumlah peserta pada kali ini adalah sebanyak 150 orang yang terdiri daripada kalangan peserta terbaik program MFLS Tier 2 pada tahun 2019, 2020 dan 2021.\nDalam perkembangan majlis yang sama pada sebelah pagi, peserta berpeluang untuk mendengar ceramah bertajuk \u201cRaja Muda Perlis: Berjiwa Rakyat Menyantuni Masyarakat\u201c oleh Setiausaha Sulit kepada DYTM Tuanku Raja Muda Perlis Zaharin Haris, \u201cKemudi Diraja Bahtera MAIPs\u201c oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji\u00a0Mohd.\u00a0Nazim Mohd.\u00a0Noor dan \u201cRakyat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Segala Tindakan\u201c oleh Mufti Perlis, Dato\u2019 Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.\nMenyambut keberangkatan tiba tetamu diraja berkenaan ialah Ketua Pengarah i-LEAD, Haji Mohd. Haswandi Haji Ahmad yang diiringi Presiden serta Timbalan Presiden MFLS Tier 3, Fadhlin Hadhira Mohad Hakimi dan Muhammad Fadhlan Muaallin Ahmad Fauzi.\nTurut hadir bersama-sama memeriahkan majlis ini ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Dato Sri\u2019 Ti Lian Ker, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS,\u00a0Abdullah Hasan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS,\u00a0Ramona Mohd.\u00a0Razali serta Pengurusan Tertinggi KBS." "Kebebasan Badan Kehakiman Tunjang Demokrasi yang Berfungsi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBaru baru ini, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa badan kehakiman hanya menjalankan fungsi kehakimannya dengan mengikuti duluan atau \u201cprecedent\u201d yang telah ditetapkan dalam memutuskan kes-kes yang berkaitan dengan Perlembagaan. Pada pandangan penulis, kenyataan ini dibuat sebagai tindak balas terhadap dakwaan-dakwaan yang mengatakan badan kehakiman telah berfungsi melebihi kuasanya. Secara tidak langsung kenyataan ini mencerminkan niat dan usaha Ketua Hakim Negara untuk mempertahankan kedaulatan dan kebebasan badan kehakiman di Malaysia.\nKebebasan badan kehakiman\u00a0 amat mustahak dalam amalan demokrasi bagi memastikan kuasa dan had-hadnya yang ditetapkan oleh undang-undang dihormati dan diikuti. Untuk mencapai matlamat ini, Sir Browne Wilkinson pernah menyatakan bahawa, seseorang hakim itu haruslah bebas daripada apa-apa tekanan daripada kerajaan atau sesiapa sahaja mengenai tatacara untuk memutuskan keputusan sesebuah kes. \u00a0Namun begitu, ada pihak yang mengatakan bahawa kebebasan badan kehakiman telah terhakis lantaran daripada beberapa kontroversi yang menimpa badan kehakiman, terutamanya krisis kehakiman yang terjadi pada tahun 1988. Akibat daripada krisis ini, badan kehakiman terpaksa melalui pelbagai fasa bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap kebebasannya.\nDoktrin Pembahagian Kuasa\nDemokrasi yang berfungsi dengan baik ialah sebuah demokrasi yang berpaksikan perlaksanaan doktrin pemisahan kuasa yang ampuh dan berkesan. Menurut sejarah, doktrin ini dipercayai dipelopori oleh cendekiawan terkemuka Yunani, Aristotle, dan seterusnya dikembangkan oleh sarjana-sarjana terkemudian seperti John Locke, Montesquie dan James Madison. Secara mudahnya, doktrin ini menolak pemusatan dan monopoli kuasa oleh sesuatu badan atau pihak, atas kepercayaan bahawa perkara tersebut boleh membawa kepada pencabulan hak, kezaliman, ataupun kemaharajalelaan. Melalui doktrin ini, kuasa sesebuah negara dipisahkan kepada tiga cabang utama, iaitu institusi pemerintah atau kerajaan, perundangan dan juga badan kehakiman. Melalui doktrin ini, setiap daripada cabang utama negara dituntut untuk menjalankan fungsi-fungsi yang ditetapkan perlembagaan dan undang-undang tanpa mengganggu atau merendahkan kuasa dan fungsi badan yang lain. Kaedah ini akan mewujudkan keadaan semak dan imbang antara cabang-cabang yang telah dipisahkan. Oleh hal yang demikian, elemen semak dan imbang yang wujud memberikan kuasa kepada setiap cabang yang dipisahkan untuk mengehadkan kuasa cabang yang lain. Sebagai contoh, badan kehakiman mempunyai kuasa untuk menyemak keputusan yang dibuat oleh kerajaan sama ada keputusan tersebut telah melalui proses perundangan yang betul ataupun sebaliknya melalui kaedah semakan kehakiman. Sekiranya keputusan yang dibuat oleh kerajaan tersebut didapati tidak mengikuti lunas-lunas undang-undang, maka mahkamah berhak untuk membatalkan keputusan kerajaan tersebut. Oleh itu secara teorinya, setiap cabang berkuasa untuk menyemak cabang-cabang yang lain bagi memastikan bahawa kuasa yang diagihkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan juga undang-undang sedia ada dilaksanakan secara sama rata dan seimbang.\nJaminan Kebebasan Kehakiman di bawah Perlembagaan Persekutuan\nSecara amnya, tanggapan terhadap kebebasan badan kehakiman boleh dilihat melalui tiga sisi; yang pertama, badan kehakiman haruslah bebas daripada segi strukturnya, iaitu dipisahkan daripada cabang-cabang yang lain. Kedua, kebebasan itu haruslah sebuah kebebasan yang berfungsi, iaitu bukanlah hanya bersifat kosmetik atau sekadar formaliti. Akhir sekali, kebebasan kehakiman juga bermula daripada faktor personaliti dan integriti seseorang hakim itu sendiri, iaitu beliau haruslah bersifat terbuka, tidak dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran yang boleh menjejaskan kebebasannya, seperti faktor ekonomi, sosial dan juga kecenderungan politik. Menurut Profesor Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi, kebebasan badan kehakiman dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan menerusi beberapa fasal. Pertama, Perkara 123 dan Perkara 122B memberikan sedikit perlindungan terhadap badan kehakiman berkenaan dengan kaedah pelantikan hakim. Walaupun seorang hakim, secara amnya dilantik oleh pemerintah, namun pelantikan tersebut tidak boleh dilaksanakan secara sewenang-wenangnya kerana Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan syarat-syarat khas yang tertentu. Sebagai contoh, seseorang calon hakim yang mahu dilantik haruslah memenuhi syarat-syarat minimum yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Malah, bagi tujuan lantikan hakim mahkamah atasan, rundingan dengan pihak ketiga yang disebut dalam perlembagaan haruslah dijalankan.\nPerlembagaan Persekutuan juga menjamin tempoh pemegangan jawatan seseorang hakim kerana seseorang hakim mahkamah atasan tidak boleh dilucutkan jawatan tanpa melalui satu proses pendengaran oleh sebuah Tribunal Khas. Tribunal khas ini haruslah dianggotai sekurang-kurangnya oleh lima orang hakim mahkamah atasan yang sedang berkhidmat atau yang pernah berkhidmat di Malaysia, ataupun mengikut kesesuaian mana-mana negara Komanwel. Sebab-sebab penyingkiran yang digariskan oleh undang-undang juga hanya terhad kepada pelanggaran etika kehakiman, keuzuran tubuh badan dan minda, serta atau apa-apa sebab lain yang tidak memungkinkan seseorang hakim boleh melaksanakan tugasnya dengan baik.\nTambah Profesor Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi lagi, walaupun umur persaraan seorang hakim ialah 65 tahun, namun khidmatnya boleh disambung selama enam bulan walaupun jika telah melepasi had umur persaraannya. Pendapatan seorang hakim juga tidak boleh dikurangkan dan saraan seseorang Hakim Mahkamah Persekutuan diperuntukkan dan dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan yang dibentuk melalui penggubalan undang-undang oleh Parlimen dan bukannya oleh kerajaan. Hal ini penting bagi memastikan bahawa institusi kehakiman bebas daripada sebarang bentuk ugutan dan ancaman, termasuklah dari segi kewangan. Tambahan pula, Perkara 127 juga melarang sebarang bentuk perbahasan atau perbincangan mengenai kelakuan seseorang hakim di Parlimen, kecuali melalui satu usul khusus yang disokong oleh tidak kurang satu pertiga daripada ahlinya. Seterusnya, Kod Etika Kehakiman juga melarang keras daripada seseorang hakim terlibat secara langsung dengan apa-apa kegiatan politik. Selain itu, Perkara 122C melarang seseorang hakim dipindahkan atas arahan mana-mana pihak kecuali dengan keizinan atau nasihat Ketua Hakim Negara. Selain itu, Perkara 126 memberikan kuasa kepada hakim untuk menghukum kesalahan penghinaan mahkamah bagi memelihara integriti badan kehakiman. Seterusnya, walaupun tidak dinyatakan dengan jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan, seorang hakim juga dilindungi daripada sebarang tindakan undang-undang, sama ada jenayah atau sivil dalam melaksanakan tugasnya sebagai hakim.\nTambahan pula, Perlembagaan Persekutuan turut memberi perlindungan dalam bentuk yang menjamin sistem dan struktur badan kehakiman itu sendiri. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan mana-mana pihak mengganggu-gugat, atau mengubah hierarki, bidang kuasa, dan juga komposisi mahkamah sepertimana yang telah digariskan oleh undang-undang. Sebagai contoh, Perkara 122, Perkara 122A dan Perkara 122AA jelas memperuntukkan jumlah maksimum hakim mahkamah atasan yang boleh dilantik. Pada pendapat penulis, hal ini adalah mustahak bagi memastikan bahawa pelantikan hakim tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya terutamanya bagi mengukuhkan aspirasi politik pemerintah. Dalam hal ini, hanya Yang Dipertuan Agong diberikan mandat oleh Perlembagaan Persekutuan untuk menambah jumlah bilangan hakim mahkamah atasan melalui Perkara 122(1A) Perlembagaan Persekutuan. Hal ini dikatakan demikian kerana apa-apa tindakan oleh Yang Dipertuan Agong adalah bersifat apolotikal dan tidak memihak kepada mana-mana aspirasi politik.\nSeperti yang dinyatakan di atas, kebebasan badan kehakiman haruslah dijunjung dan dihormati sepertimana yang dianjurkan oleh Perlembagaan dan lunas-lunas asas demokrasi.\u00a0 Pada masa yang sama, walaupun kebebasan kehakiman dijamin secara bertulis oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, namun tidak dinafikan bahawa masih terdapat beberapa kelemahan yang harus diatasi. Dalam hal ini, semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan bekerjasama bagi memastikan kebebasan badan kehakiman dipelihara dan terjaga.\n\u00a0\nPenulis, Pensyarah, Fakulti Undang-Undang, Universiti Multimedia, Kampus Melaka." "Krisis Makanan Global Ancam Negara Dunia Ketiga\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDunia kini sedang mengalami pelbagai ledakan ekonomi, sosial dan politik yang agak membimbangkan. Di samping percambahan pelbagai jenis peralatan canggih seperti komputer, jet supersonik dan peralatan rumah yang bergerak hanya dengan menekan satu butang sahaja, terdapat juga negara-negara yang dilanda masalah pemakanan. Mengikut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih kurang 75 juta orang manusia di seluruh dunia menghadapi masalah kebuluran pada ketika ini. Hal ini berlaku terutamanya di negara Dunia Ketiga.\nKebanyakan negara Dunia Ketiga tersebut sering dilanda kebuluran, banjir, konflik perkauman dan kekurangan makanan. Perkara ini disebabkan oleh pertambahan penduduk yang semakin pesat dan tidak terkawal. Di kawasan mundur di negara-negara seperti Mali, Somalia, Etiopia dan Sudan, tiada kawalan ketat ke atas institusi kekeluargaan. Perancangan kekeluargaan yang begitu longgar menyebabkan sesebuah keluarga itu mempunyai sehingga 15 hingga 20 orang anak.\nSituasi ini turut melibatkan negara-negara seperti India, Afganistan, Pakistan dan Bangladesh, apabila kanak-kanak menjadi mangsa terhadap budaya kahwin secara paksa berleluasa. Kanak-kanak perempuan belasan tahun atau yang berumur sekitar 10 atau 12 tahun kebanyakannya tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang baik dan dipaksa berkahwin dengan individu yang lebih dewasa daripada mereka.\nDalam hal ini, agensi Program Makanan Sedunia baru-baru ini telah dianugerahkan Hadiah Nobel 2020 kerana usaha badan antarabangsa itu mengusahakan pemberian makanan kepada rakyat yang mengalami krisis kebuluran makanan seperti di Sudan, Eritrea dan sebahagian besar kawasan Sahara. Hadiah tersebut dianugerahkan kepada badan berkenaan kerana usahanya menangani masalah kebuluran, khidmatnya dalam menyumbang ke arah kebaikan, membawa keamanan di negara-negara yang mengalami konflik di antara satu sama lain dan bertindak sebagai kuasa penggerak (driving force) dalam usaha mengelakkan kebuluran dijadikan sebagai senjata perang dan penyelesaian konflik.\nNegara-negara maju dan negara-negara yang sedang membangun sering kali memberikan bantuan dari segi teknikal dan kepakaran tentang cara-cara untuk menghasilkan makanan dengan lebih berkesan. Para saintis dari negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Britain serta dari negara membangun seperti Malaysia sentiasa bertukar-tukar pendapat terutamanya dalam bidang pertanian, bioteknologi serta pelaburan. Dalam bidang pertanian, usaha giat dijalankan di antara negara-negara dunia ketiga ini bagi menghasilkan benih-benih gandum, soya dan kacang yang lebih berkhasiat. Di Tanzania misalnya, penanaman jagung dan gandum giat dijalankan secara besar-besaran bagi menampung bilangan penduduknya yang semakin bertambah. Tenaga buruh semakin kurang diperlukan, sebaliknya lebih banyak mesin dan alat-alat canggih yang digunakan bagi menghasilkannya.\nSekiranya negara Dunia Ketiga mengambil inisiatif untuk menjalinkan hubungan yang baik dengan negara yang lain bagi tujuan perdagangan dan bertukar-tukar pendapat, sudah tentu sedikit sebanyak negara-negara tersebut akan keluar daripada jurang kemiskinan dan kemunduran yang kian menghimpit rakyat mereka. Mereka pastinya tidak mahu melihat rakyat mereka sendiri hidup dalam kedaifan dan kemiskinan yang melarat. Walau bagaimanapun, terdapat negara Dunia Ketiga yang dilanda kekecohan dan kesusahan akibat peperangan dan rasuah yang berleluasa di negara masing-masing.\u00a0 Satu daripada negara berkenaan ialah Sudan. Pada suatu ketika dahulu, Sudan begitu kaya dengan pengeluaran minyaknya. Akan tetapi, disebabkan \u00a0ketamakan pemimpin dan perebutan kuasa antara puak, maka Sudan telah dilanda kebuluran dan kekurangan makanan yang sangat teruk.\nUsaha-usaha yang dilakukan oleh beberapa buah badan kebajikan seperti Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) dan Pertubuhan Bencana dan Advokasi (OXFAM) bagi mengatasi masalah kebuluran di Darfur, Sudan sememangnya harus dipuji. Nasib Sudan amat baik kerana bantuan kewangan dan makanan datang mencurah-curah sebaik-baik sahaja gencatan senjata dilaksanakan. Kini keadaan di Dafur kembali tenang. Namun begitu, adalah diharapkan agar puak-puak yang bertelagah itu kembali ke meja rundingan bagi membincangkan perkara atau masalah yang menjadi penghalang kepada kemajuan negara tersebut. Para pemimpin negara Dunia Ketiga perlu sedar bahawa keamanan dan kemakmuran dalam kalangan rakyat mereka merupakan kunci utama ke arah kemajuan dan pembangunan di negara mereka sendiri. Sekiranya mereka sering bertelagah dan berpuak-puak, maka sudah tentu agak sukar untuk rakyat mereka hidup dalam keadaan yang aman damai.\nKrisis makanan yang sering kali melanda negara Dunia Ketiga bukan sahaja disebabkan oleh peperangan, malah berpunca daruipada malapetaka yang tidak dapat dielakkan seperti musim sejuk, kemarau dan banjir yang berpanjangan. Bagi menangani masalah ini, kebanyakan negara Dunia Ketiga telah mengambil langkah-langkah tertentu seperti menghubungi OXFAM yang turut\u00a0 menyumbang bantuan makanan kepada negara-negara yang menghadapi masalah kekurangan makanan yang teruk.\nSatu daripada masalah besar yang kian meruncing di negara-negara Dunia Ketiga ini termasuklah perebutan kuasa di antara para pemimpinnya. Pada suatu ketika dahulu, di Zimbabwe misalnya, telah berlaku perebutan kuasa di antara Presiden Robert Mugabe dengan pencabarnya Morgan Twazrigai yang telah menyebabkan beribu-ribu rakyat di negara itu hilang tempat tinggal dan mata pencarian mereka. Para penyokong kedua-dua belah pihak bertelagah dan telah mengakibatkan kematian beribu-ribu orang. Kebuluran juga berleluasa. Orang ramai yang kekurangan makanan terpaksa menggeledah dan terpaksa mencuri masuk ke dalam kedai-kedai runcit untuk mencuri\u00a0 makanan dan minuman. Kematian orang-orang yang tidak berdosa akibat pertelagahan politik dan perbezaan pendapat para pemimpinnya merupakan hal yang amat merugikan dan memalukan. Pada pertengahan tahun-tahun 60-an, Zimbabwe merupakan antara negara yang paling miskin di dunia.\nKegagalan negara Dunia Ketiga yang lain yang enggan campur tangan bagi menyelesaikan krisis politik dan ekonomi di negara-negara seperti Sudan dan Zimbabwe itu merupakan satu daripada faktor yang menyebabkan krisis sebegitu berpanjangan. Sekiranya negara-negara itu sendiri meminta bantuan daripada kuasa penjajah mereka dahulu, iaitu Britain dan Perancis, mungkin krisis makanan yang melanda negara-negara seperti itu dapat dikurangkan atau pun dihapuskan sama sekali.\nKesimpulannya, kita mengharapkan kerjasama dan semangat bersatu padu di antara satu sama lain boleh mengeluarkan negara-negara Dunia Ketiga ini daripada konflik dan kancah peperangan yang hanya akan merugikan mereka kerana keadaan ini hanya akan menguntungkan pihak yang tidak bertanggungjawab seperti pembekal senjata api yang akan mendapat habuan besar-besaran daripada persengketaan yang berterusan itu." "W.I.S.E ke-11 Mengangkat Martabat Wanita dalam Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 \u201cJenayah tidak memilih jantina dan jenayah boleh berlaku ke atas sesiapa pun tidak kira masa dan tempat. Kesedaran pencegahan jenayah, jati diri serta kepekaan persekitaran perlu diterapkan kepada masyarakat,\u201d demikian titah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ketika berkenan menyempurnakan penutupan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF): Women in Search of Excellence (W.I.S.E.) Siri ke-11 yang bertajuk \u201cLady Boss in The Police Force,\u201d anjuran Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bersama dengan YTF, petang semalam.\nMengulas dengan lebih lanjut, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah yang merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah menitahkan bahawa perilaku semula jadi kaum wanita yang lembut dalam tutur kata dan tingkah lakunya merupakan faktor penting mereka harus dilindungi dan dipelihara dengan baik, sekali gus selari dengan ajaran Islam yang turut mengangkat darjat dan martabat seorang wanita.\nTambah baginda,\nPersembahan daripada ahli panel wirawati PDRM dalam webinar tersebut\u00a0 telah memberikan satu gambaran tentang kehebatan dan kebolehan kaum wanita dalam tugasan kepolisan yang didominasi oleh kaum lelaki.\nKehebatan wirawati PDRM ini akan terus memberikan galakan positif agar lebih ramai kaum wanita menceburi sektor kepolisan yang merupakan antara perkhidmatan terbaik kepada negara dan masyarakat.\nDalam majlis yang sama, DYTM Tuanku Raja Puan Muda turut mendoakan agar wanita di Malaysia terus memperkasakan daya saing, daya kepimpinan serta menceburi peluang kerjaya dalam sektor kepolisan yang tidak hanya didominasi oleh kaum lelaki.\nWebinar berkenaan pada awal paginya telah dirasmikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merupakan Penasihat DiRaja YTF.\nTerdapat empat sesi perkongsian sepanjang webinar tersebut berlangsung. Antara barisan ahli panel tersebut ialah DCP Dato\u2019 Nerita Yaacob yang menyampaikan perkongsian mengenai \u201cKerjaya Wanita dan Modal Insan dalam PDRM\u201d, sesi seterunya berkaitan \u201cMacau Scam, Sumbangan Wanita dalam Pencegahan dan Siasatan Jenayah Komersil\u201d oleh DCP Dato\u2019 Sasikala Devi A/P Subramaniam, sesi \u201cPenglibatan Pegawai Wanita dalam Isu Pencegahan Aktiviti Pengganas\u201d oleh DCP Normah Ishak dan \u201cJenayah Seksual dan Peranan Pegawai Wanita\u201d disampaikan oleh ACP Siti Kamsiah Hassan, manakala Inspektor Zaitul Najihah Abd. Patah bertanggunjawab sebagai moderator.\nTurut hadir ialah Ketua Polis Perlis, DCP Dato\u2019 Surina Saad yang turut menyampaikan perkongsian dalam webinar tersebut." "Sifat Keberanian Wanita Menyertai Sektor Kepolisan Wajar Dipuji \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Hakikatnya menyedari, sektor kepolisan adalah lebih sinonim dan didominasi oleh kaum lelaki. Namun begitu, hal ini tidak menghalang kaum wanita untuk menceburi kerjaya dalam sektor kepolisan.\nTitah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan merasmikan Pembukaan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF): Women in Search of Excellence Siri ke-11 dengan tajuknya, \u201cLady Boss In The Police Force?\u201d.\nDalam titah pembukaan Webinar YTF semalam, baginda menzahirkan rasa bangga apabila melihat semakin ramai kaum hawa memperagakan tekad, iltizam dan sifat keberanian bagi memecah norma menyertai bidang kepolisan.\nKetika berkenan mengucapkan tahniah kepada wanita hebat yang telah menyertai sektor kepolisan ini, baginda bertitah,\nSemestinya perjalanan ini jauh, berliku dan tidak mudah untuk dicapai. Terlalu banyak cabaran dan halangan yang harus ditempuhi dan ditangani dalam menggalas tugas sebagai srikandi negara.\nBersesuaian dengan slogan \u201cPolis dan Masyarakat Berpisah Tiada\u201d, program anjuran Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bersama YTF ini dikatakan demikian dapat mewujudkan kesejahteraan masyarakat, seterusnya mengekalkan keharmonian serta keamanan negara.\nDYTM Raja Muda Perlis yang merangkap Penasihat DiRaja YTF menambah bahawa polisi kerja dan kehidupan yang seimbang akan membolehkan kaum wanita berkerjaya memberi tumpuan dalam bekerja tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga dalam waktu yang sama.\nProgram ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Polis Negeri Perlis, DCP Dato\u2019 Surina Saad, manakala majlis penutupan pula disempurnakan pada sebelah tengah hari oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Tuanku Pengerusi YTF.\nMengulas lebih lanjut, ahli panel Webinar YTF pada kali ini ialah DCP Dato\u2019 Nerita Yaacob, DCP Dato\u2019 Sasikala Devi A/P Subramaniam, DCP Normah Ishak, ACP Siti Kamsiah Hassan dan moderatornya ialah Inspektor Zaitul Najihah Abd. Patah." "Maal Hijrah Titik Permulaan Kekuatan Umat Islam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 \u201cPeristiwa hijrah merupakan titik permulaan kepada asas kekuatan Islam dan umatnya. Maka itu, penghayatan kepada hijrah perlu disuburkan dalam kalangan umat Islam.\u201d\n\u201cKepentingan umat Islam untuk membina keazaman antara pengajaran daripada peristiwa hijrah ini, selain memberikan gambaran kepada pemisahan antara hak dengan batil yang perlu dihayati oleh umat.\u201d\nTitah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena menyambut Maal Hijrah baru-baru ini.\n\nMengulas lebih lanjut, Majlis Maal Hijrah Peringkat Negeri Perlis akan disempurnakan oleh Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada pagi Khamis, 4 Ogos 2022 bersamaan 6 Muharram 1444 Hijrah.\nDalam perkembangan lain, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menghadiri majlis resepsi perkahwinan Tengku Muhammad Faris Tengku Mohd Ismail dengan pasangannya, Nur Hafizah @ Fiza Thomas di Glamhall Damansara, Mercu Mustapha Kamal, Petaling Jaya, Selangor.\nTengku Muhammad Faris merupakan antara penggiat seni yang aktif dalam bidang seni dan hiburan. Beliau juga terlibat dalam pembikinan video muzik sebagai pengarah fotografi. Antara hasil kerjanya termasuklah pembikinan video muzik Wani Kayrie, Khodi dan banyak lagi.\nManakala, Nur Hafizah pula merupakan seorang penyanyi dan pelakon berasal dari Sandakan, Sabah dengan kerjayanya bermula sebagai salah seorang peserta Akademi Fantasia pada tahun 2016. Beliau juga lebih dikenali menerusi watak sebagai Soraya dalam iklan #RendangSoRaya terbitan PETRONAS bersempena dengan sambutan Aidilfitri pada tahun 2019." "Demokrasi di Tangan Anak Muda\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPengumuman Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob bahawa seorang belia akan dilantik sebagai senator di Dewan Negara ternyata disambut baik oleh semua pihak, lebih-lebih lagi golongan belia yang percaya bahawa dengan suara yang mewakili mereka, nasib belia di negara ini akan lebih terbela.\nPengumuman yang dibuat bersempena dengan sambutan Hari Belia Negara 2022, di Tuaran, Sabah itu amat signifikan dengan kepentingan anak muda dalam pembangunan negara dan pemangkin hala tuju negara pada masa hadapan. Menurut Perdana Menteri penyertaan belia di dalam Dewan Negara akan menguatkan lagi suara generasi muda negara, sekali gus membangunkan lagi golongan berkenaan.\nDari sisi yang sama, pengumuman tersebut dilihat oleh banyak penganalisis politik sebagai langkah awal untuk membuka jalan kepada pelantikan lebih banyak pemimpin muda negara dalam pentadbiran kerajaan pada masa akan datang kerana mahu tidak mahu, semua pihak perlu bersedia untuk tidak menolak kebangkitan pemimpin muda dalam fasa kepimpinan baharu negara. Hal ini lebih-lebih lagi apabila pengundi kini berhak memilih pemimpin semuda usia 18 tahun dan dengan perkembangan dunia dari pelbagai sisi, iaitu maklumat di hujung jari, kecelikan berpolitik dalam kalangan rakyat, serta perubahan landskap politik yang sukar dijangka, segala yang mustahil kini tidak lagi dilihat sebagai mustahil.\nHal ini juga bukan sesuatu yang janggal apabila dunia pada hari ini mengangkat banyak pemimpin muda sebagai mengetuai kepimpinan negara. Beberapa buah negara kini dilihat mula memilih pemimpin muda untuk mengemudi pentadbiran masing-masing. Antaranya termasuklah Gabriel Boric, yang dipilih menjadi Presiden Chile termuda pada usia 35 tahun dan menjadikannya pemimpin negara termuda di dunia. Namun begitu, gelaran untuk pemimpin termuda dunia pada hari ini dipegang oleh Giacomo Simoncini, berusia 26 tahun yang menjadi Captain Regent (Ketua Negeri) San Marino, iaitu sebuah negeri di utara Itali. Di Finland, pada tahun 2019, negara itu melantik Sanna Marin, 34 tahun, sebagai Perdana Menteri.\nTernyata pelibatan dan sumbangan generasi muda di seluruh dunia membuka dimensi baharu dalam landskap kepimpinan tertinggi di sesebuah negara. Perkembangan ini sedikit banyak memberikan kesan kepada kebanyakan negara termasuklah negara ASEAN untuk turut membuka laluan kepada golongan belia untuk menjadi pemimpin negara. Malaysia juga ternyata tidak terkecuali apabila turut mengiktiraf sumbangan, pencapaian, usaha, daya bangkit dan suara seluruh warga belia di negara ini.\nHal ini dikatakan demikian kerana sudah tiba masanya golongan belia memainkan peranan yang lebih besar dalam pembentukan negara bangsa terutamanya dalam memilih pemimpin negara selaras dengan pelaksanaan Pindaan Undang-undang Perlembagaan Persekutuan. Sebagai rekod, jumlah pengundi belia di negara ini yang berusia antara 21 tahun hingga 40 tahun pada tahun 2020 adalah berjumlah 6.2 juta orang, iaitu sebanyak 40.8 peratus daripada keseluruhan 15.3 juta orang pengundi berdaftar.\nMenurut Perdana Menteri, pelibatan anak muda yang dilihat semakin meningkat dalam arena politik negara merupakan petanda positif dan perlu dikembangkan dengan lebih meluas. Maka itu, pada 12 Mac 2022 yang lalu, negara mencipta sejarah apabila golongan belia untuk julung-julung kalinya diberikan hak dan mandat untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri Johor, yang mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus pengundi dengan penambahan hampir 750 ribu orang pengundi berusia 18 tahun ke atas daripada jumlah keseluruhan 2.6 juta pengundi berdaftar susulan pendaftaran automatik Undi18.\n\u201cDengan terlaksananya Undi18 ini, diharapkan belia lebih celik dan cakna tentang sistem demokrasi berparlimen dan peranan mereka sebagai pengundi muda seterusnya meningkatkan jati diri belia untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang,\u201d ujar Perdana Menteri.\nTambahnya, pemimpin belia juga perlu mengambil tahu dan sedar akan penguatkuasaan pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) yang melibatkan penurunan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun. Pelaksanaan pindaan akta ini dapat meramaikan pemimpin belia di bawah umur 30 tahun, seterusnya memberikan ruang kepada belia untuk mengasah bakat kepimpinan dan mencari pengalaman sebanyak mungkin menerusi ruang yang ditinggalkan.\nKerajaan juga sentiasa peka dan prihatin dengan isu yang melanda golongan belia khususnya dalam menurunkan kadar pengangguran. Berdasarkan dapatan Indeks Belia Malaysia pada tahun 2021 bagi Domain Ekonomi, skor bagi kebolehpekerjaan adalah sebanyak 42.01.\nBelia di negara ini sesungguhnya bertuah kerana terdapat lebih daripada 20 inisiatif yang boleh dimanfaatkan oleh golongan belia secara langsung atau tidak langsung melalui Belanjawan 2022 yang telah diumumkan oleh kerajaan, antaranya termasuklah penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan, iaitu sejajar dengan perkembangan sektor perniagaan yang sekali gus akan meletakkan ekonomi pada landasan pemulihan yang tepat.\n\u201cSatu daripada inisiatif yang ditawarkan oleh kerajaan melalui Belanjawan 2022 ialah \u00a0inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia yang telah dilancarkan pada 19 Februari 2022 bagi membantu memperkukuh ekonomi belia,\u201d ujar Perdana Menteri.\nMengambil inisiatif \u00a0JaminKerja \u00a0yang diperkenalkan oleh kerajaan, terdapat sebanyak 600 ribu peluang pekerjaan terutamanya kepada golongan muda dengan peruntukan bernilai sebanyak RM4.8 bilion yang terangkum dalam Belanjawan 2022. Usaha ini merupakan satu insentif kewangan yang diberikan kepada majikan yang membuat pengambilan baharu mulai 1 Januari 2022, iaitu dalam kalangan perantis, graduan, golongan mudah terjejas termasuklah orang kurang upaya, bekas tentera, bekas banduan, warga emas serta penganggur am\nTambah Perdana Menteri, kerajaan juga sedar tentang cabaran yang bakal di hadapi khususnya dalam fasa pascapandemik COVID-19 yang pastinya lebih hebat terutamanya dalam sektor ekonomi. Oleh itu, di bawah Rancangan Malaysia ke-12, kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan sedang merangka Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia untuk hala tuju strategik dalam meningkatkan kebolehpasaran dan tahap ekonomi belia.\nUmum mengetahui bahawa melalui Belanjawan 2022, kira-kira RM1.2 bilion telah diperuntukkan untuk pelbagai inisiatif bagi manfaat golongan belia termasuk Program ePemula kepada dua juta belia yang berumur 18 tahun hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa di peringkat diploma atau Sijil Kemahiran Malaysia 4 (SKM4) dan ke atas di institut pengajian tinggi awam dan swasta.\nProgram ini merupakan sebuah Skim Transaksi Tanpa Tunai yang bertujuan untuk meringankan beban kewangan belia dan memupuk budaya transaksi tanpa tunai dalam kalangan belia. Ternyata inisiatif yang melibatkan peruntukan berjumlah RM300 juta ini telah pun dilaksanakan dan dinikmati oleh warga belia. Kerajaan juga menawarkan inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar B40 di institusi pengajian tinggi yang melibatkan keseluruhan kos sebanyak RM450 juta.\n\u201cTerdapat lebih daripada 350 ribu orang mahasiswa akan mendapat manfaat serta memudahkan mereka mengikuti aktiviti pembelajaran secara dalam talian, melayari internet untuk tujuan penyelidikan dan sebagainya. Pada masa yang sama, kerajaan turut memperkenalkan inisiatif kepada majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun dengan insentif sebanyak RM900 sebulan selama enam bulan bagi membolehkan belia menjayakan agenda pemulihan melalui alam pekerjaan,\u201d jelas Perdana Menteri.\nSementara itu, bagi belia yang cenderung ke arah keusahawanan, kerajaan turut menyediakan pelan pembiayaan bernilai RM150 juta melalui Bank Simpanan Nasional dan Agrobank. Kerajaan juga menyedari bahawa banyak anak muda yang memulakan kerjaya di ibu kota berdepan dengan isu perumahan. Oleh itu, kerajaan akan memastikan mereka mampu memiliki kediaman sendiri selari dengan aspirasi Satu Keluarga Satu Rumah, termasuklah memperkasakan kediaman berkonsepkan transit atau Transit Oriented Developement.\nPeranan anak muda, khususnya yang berusia 18 tahun di negara ini pastinya menjadi perhatian dalam PRU ke-15 kelak. Hal ini dikatakan demikian kerana PRU pada kali ini akan menjadi pentas pertama dalam sejarah negara yang akan menyaksikan anak muda berusia 18 tahun memangkah pemimpin mereka dan menentukan kerajaan yang akan mengemudi negara. Oleh itu, banyak pihak yang menjangkakan bahawa pada PRU ke-15 yang sedang dinantikan oleh seluruh rakyat di negara ini, pentas itu akan menampilkan lebih banyak sosok anak muda dalam arena politik negara. Sama ada anak muda yang terpilih sudah benar-benar bersedia untuk membawa suara anak muda Malaysia, jawapannya akan dapat buktikan apabila mereka berada dalam radar politik negara dan menjadi pemimpin kelak. Di situlah mereka akan diuji sama ada mereka benar-benar layak ataupun sebaliknya." "Pengorbanan Pahlawan Bukti Semangat Mempertahankan Negara \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Jasa pahlawan yang mempertahan dan memperjuangkan kemerdekaan negara harus sentiasa dikenang oleh masyarakat, khususnya generasi muda pada masa ini.\nRaja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan masyarakat agar mengenang jasa pahlawan negara dan mendoakan mereka yang telah pergi ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.\nPengorbanan mereka jelas membuktikan jati diri dan semangat mereka demi kesejahteraan generasi terkemudian walaupun terpaksa mempertaruhkan nyawa dan harta benda.\nDemikianlah titah DYTM Tuanku Raja Muda selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan Amal Sempena Sambutan Hari Pahlawan 2022 Peringkat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan ke-53 bagi tahun 2022 yang dilaksanakan secara serentak di sekitar Kangar, petang semalam.\n\nSementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd. Nazim Mohd. Noor berkata,\nHari Pahlawan yang disambut pada setiap tahun pada 31 Julai adalah untuk mengenang jasa semua pasukan keselamatan tidak kira tentera atau polis, sama ada sebelum dan selepas Malaysia merdeka.\nSempena program tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan singgah menyantuni asnaf terpilih terdiri daripada Wasia Mastika di Kampung Behor Gandil yang mempunyai masalah kesihatan kesan kemalangan motorsikal, Yusof Nordin di Kampung Guar Syed Alwi yang tinggal bersama enam orang ahli keluarganya dan Idris Bulat juga tinggal di Kampung Guar Syed Alwi dan mempunyai masalah kesihatan.\n\nPada penghujung program yang diadakan di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Kontinjen Polis DiRaja Malaysia Perlis, satu majlis perpisahan kepada Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak yang akan bertukar setelah empat tahun mencurahkan bakti di negeri ini dengan cenderahati disampaikan kepada beliau daripada pihak MAIPs dan PDRM Perlis.\nSepanjang tempoh di Perlis, Mohamad Zaidi yang amat berminat dalam bidang sukan telah mengemudi rejimen berkenaan untuk berjaya menganjurkan R504 AW Run, memperbaiki padang bola dalam kem, mewujudkan gelanggang woodball K3 Hill, mengilhamkan sebuah Laman Ikhtiar Hidup, menyiapkan Litar Larian Pagar, menubuhkan Kelab Motorsikal R504AW, di samping melaksanakan acara menembak JAKPAW Perlis secara berkala." "KPM Komited Rangka Program \u201cBersama Semarakkan Transformasi Pendidikan\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bersempena dengan bulan kemerdekaan negara pada tahun ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus komited merangka program terkini, iaitu \u201cBersama Semarakkan Transformasi Pendidikan\u201c bermula pada 1 Ogos hingga 16 September 2022.\nDalam sebuah wacana yang berlangsung pada malam tadi, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Encik Zainal Abas berkongsi tentang program yang bakal dilancarkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk Dr. Radzi Jidin yang akan berlangsung pada 20 Ogos kelak, iaitu \u201cInisiatif Pemantapan ICT\u201d yang akan menaik taraf kira-kira 7000 makmal komputer di sekolah seluruh negara bagi memantapkan sistem transformasi pendidikan Malaysia, berserta pelancaran aplikasi DELIMa 2.0.\nMenurut beliau, bersempena dengan bulan kemerdekaan ini juga, KPM akan menganjurkan sebuah pameran tranformasi pendidikan yang akan bermula pada 12 hingga 14 Ogos di Alamanda Putrajaya yang bakal mengetengahkan bakat-bakat inovasi pelajar, aktiviti sukan dan persembahan kebudayaan.\n\nDalam rancangan Ruang Bicara yang berlangsung di Bernama TV itu juga, Encik Zainal Abas berkata, program \u201cBersama Semarakkan Transformasi Pendidikan\u201d tersebut merupakan ruang terbaik untuk KPM menerangkan kepada khalayak tentang program-program transformasi yang telah dilaksanakan oleh KPM, program yang sedang dilaksanakan serta program yang akan dilaksanakan pada masa akan datang.\nMenurut beliau, tranformasi pendidikan di Malaysia berlaku rentetan daripada penularan wabak COVID-19 yang melanda di seluruh dunia. Oleh itu, program ini juga bertujuan untuk menerangkan kepada masyarakat mengenai langkah-langkah proaktif KPM dalam usaha memantapkan sistem pendidikan negara semasa berdepan dengan pandemik COVID-19 dua tahun lalu.\nTambah beliau lagi, proses digitalisasi pendidikan berlaku dengan begitu pantas selepas COVID-19 melanda di seluruh dunia. Penggunaan teknologi seperti aplikasi Zoom dan Google Classroom yang tidak pernah digunakan sebelum ini berjaya menjadi pelantar pendidikan yang sudah menjadi kebiasaan dalam negara pada masa ini.\nMenurut beliau, pada masa yang sama, KPM turut melaksanakan program \u201cDidik TV\u201d yang mengundang guru-guru ke studio televisyen bagi mengajar mata pelajaran sekolah secara digital khusus kepada murid yang tidak memiliki akses kepada Internet dan peranti.\n\u201cCara penandaan kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga termasuk dalam transformasi pendidikan di Malaysia dengan kaedah imbasan skrip jawapan peperiksaan berjumlah kira-kira lima juta sebelum dimasukkan ke dalam sistem untuk penanda kertas peperiksaan menanda kertas secara dalam talian,\u201d jelas beliau semasa diwawancara oleh Datuk Sherkawi Jirim, tokoh penyiaran popular tanah air.\nMengulas lanjut berkenaan dengan maklum balas murid dan guru terhadap transformasi pendidikan, beliau mengakui bahawa pada awalnya, usaha yang dilakukan itu agak sukar kerana terdapat sebilangan pelajar yang tiada akses kepada Internet dan peranti. Walau bagaimanapun, kekangan ini akhirnya dapat ditangani dengan sesi libat sama ibu bapa murid dalam modul-modul yang disediakan oleh pihak sekolah.\nSeterusnya, melalui transformasi pendidikan pada hari ini, beliau mendapati kemahiran inovasi dalam kalangan guru dan murid dapat dipertingkatkan terutamanya dalam pertandingan inovasi. Hasilnya, guru dan murid yang menjadi juara pertandingan inovasi tersebut dapat membantu meningkatkan lagi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam bilik darjah.\nSementara itu, antara usaha lain KPM dalam membantu para pelajar yang tiada kelengkapan Internet adalah dengan penyerahan peranti berserta data Internet hasil sumbangan daripada pelbagai syarikat.\nMengakhiri sesi bual bicara dalam program Ruang Bicara itu, beliau menyeru masyarakat supaya dapat bersama-sama menyemarakkan lagi transformasi pendidikan di Malaysia supaya sistem pendidikan negara kita tidak ketinggalan dan setaraf dengan negara-negara maju." "Raja Puan Muda Perlis Berkenan Rai Majlis Sanjungan Budi Lambaian Kasih\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menerima undangan berangkat menghadiri Majlis Sanjungan Budi Lambaian Kasih anjuran Badan Amal Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) Rejimen 504 Askar Wataniah yang diadakan di Restoran Fairy Le Phenomenal, Kangar pada petang semalam.\nKeberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi BAKAT Rejimen yang berpangkalan di Kem Bukit Keteri, iaitu Puan Endahsari Abd Rahman.\nMajlis tersebut turut meraikan perpisahan Endahsari yang akan mengikuti suami beliau, Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak yang bertukar setelah empat tahun menabur bakti berkhidmat di negeri Perlis di bawah naungan Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Komander.\nSepanjang tempoh perkhidmatan beliau di sini, Mohamad Zaidi telah berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif baharu termasuklah majlis perasmian Surau Al-Watani, penamaan kolam rejimen dan pelepasan benih ikan di dalamnya, program motivasi rejimen bersama sekolah-sekolah, Majlis Khatan Perdana R504AW serta program \u201cLemari Makanan\u201c (Food bank) untuk anggota dan penduduk sekitar." "Memerdekakan Bahasa: Kelam Disigi, Lekung Ditinjau\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBahasa mempunyai pertalian yang cukup kuat dengan manusia. Sebelum manusia diciptakan, bahasa lebih dahulu diwujudkan agar manusia boleh memahami dan menekuni setiap perintah dan ajaran yang telah ditetapkan Tuhan. Nikmat terbesar pemberian Tuhan kepada sesebuah bangsa bukanlah kekayaan ataupun kemasyhuran tetapi pemberian yang paling agung ialah bahasa. Bahasa ini pada akhirnya yang akan menghubungkan manusia dengan Tuhan dan manusia dengan manusia lainnya, sekali gus memberikan makna dalam setiap perkara.\nBahasa yang dikurniakan kepada manusia akan menjadi cerminan identiti dan alat penyatuan sesuatu bangsa di dunia. Oleh sebab itu, sebermula sebesar-besar tamadun sehinggalah kepada sekecil-kecil kaum di dunia, bahasa merupakan teras perpaduan dan cerminan identiti bangsa. Melalui bahasa jugalah termeterainya kedamaian melalui jalan rundingan dan perjanjian. Tanpa bahasa, manusia tidak mungkin berupaya mencapai persefahaman.\nApabila berbicara tentang bahasa, selain menjadi alat penyatuan kepada manusia, bahasa juga mempunyai keunikan dan kepelbagaian yang boleh diterokai dan dihayati. Misalnya, keunikan dan kepelbagaian yang dimiliki oleh bahasa Melayu, bahasa yang pada suatu ketika pernah menjadi lingua franca.\nBahasa Melayu terbina daripada suatu proses yang cukup mantap jika ditelusuri secara ringkas dalam lipatan sejarah hingga kini. Pelbagai pemantapan dan pengekodan bahasa dilakukan bagi menjamin keluhurannya sebagai bahasa rasmi di negara ini.\nSecara asasnya, bahasa Melayu terbina daripada sebuah sistem yang dikenali sebagai tatabahasa dan dalam tatabahasa itu pula dipecahkan kepada beberapa bahagian untuk memudahkan penutur asli dan penutur baharu memahami setiap satu komponen yang terdapat di dalam bahasa Melayu. Oleh sebab itu, wujudnya Tatabahasa Dewan sebagai pedoman yang berkaitan dengan sistem bahasa Melayu. Tanpa satu rujukan yang khusus, sudah tentu akan menimbulkan kesukaran dan kekacauan terhadap pengaplikasiannya dalam kehidupan seharian, baik secara formal ataupun sebaliknya.\nSeperti yang pernah diungkapkan dalam Tatabahasa Dewan edisi pertama oleh Mantan Ketua Pengarah DBP, Datuk Haji Hassan Haji Ahmad bahawa \u201cBahasa Melayu pada hari ini telah berkembang begitu pesat dan mendadak sehingga banyak penutur dan pengguna bahasa Melayu menghadapi kesulitan untuk mengikuti perkembangan tersebut. Keadaan ini menjadi bertambah rumit apabila mereka sukar memperoleh sebuah buku tatabahasa sebagai pegangan yang dapat dijadikan sebagai pedoman umum. Kini sebuah buku tatabahasa yang dikarang khusus dengan tujuan untuk memenuhi permintaan para pengguna bahasa Melayu telah siap\u201d.\nPerbincangan seterusnya bertumpu pada penilaian lirik lagu melalui lensa bahasa Melayu yang mempunyai kepelbagaian dan keunikan. Baru-baru ini, isu penggunaan diksi dalam lirik lagu menjadi satu perbualan hangat di media sosial. Lantaran itu, penulis tampil untuk memberikan pandangan dan penghujahan bagi memperjelas kefahaman kepada masyarakat di negara ini berkaitan dengan isu tersebut.\nBerdasarkan hasil resensi pembacaan kajian ilmiah yang dilakukan, terdapat keunikan dan kepelbagaian yang terkandung dalam sesebuah penulisan lirik lagu. Misalnya, \u201cEstetika dalam Lirik Lagu-lagu Nyanyian P. Ramlee\u201d (1996) oleh Arba\u2019ie Sujud, \u201cKeindahan Bahasa dalam Lirik Lagu P. Ramlee\u201d (2014) oleh Nur Amirah Che Soh dan Che Ibhrahim Salleh, \u201cLaras Bahasa dalam Lirik Lagu \u2018Hakim yang Bijaksana\u2019\u201d (2015) oleh Siti Noor Riha Sulong dan Normaliza Abd Rahim, \u201cPemikiran dalam Lirik Lagu: Satu Analisis Makna\u201d (2017) oleh Masitah Mat Daud dan Zulkifley Hamid, \u201cPemikiran Luhur dalam Lirik Lagu Nanyian M. Nasir\u201d (2017) oleh Norhafidah Ibrahim, Melor Fauzita Md. Yusoff dan Kazime Zakaria dan \u201cKritikan Sosial dalam Lirik Lagu Dikir Barat\u201d (2018) oleh Norhafidah Ibrahim, Norzaliza Ghazali dan Norasyikin Ibrahim.\nBahkan dalam kajian \u201cPengimajian Lirik Lagu Pop Indonesia: Kajian Stilistika\u201d (2020) oleh Andi Nurindah Sari dan \u201cKiasan dalam Lirik Lagu Nyanyian Dato\u2019 Seri Siti Nurhaliza: Analisis Semantik Inkuisitif (2021) oleh Aliaa Wan Mohd Muzanii dan Nur Jamilah Rosly turut menatijahkan satu perkara yang sama bahawa sesungguhnya lirik lagu adalah satu binaan yang terdiri daripada sejumlah kata-kata terpilih sehingga membentuk makna untuk menyampaikan hiburan, pemikiran, pesanan dan keindahan. Hal ini juga boleh disinonimkan bahawa penulisan lirik lagu yang berbentuk seperti penulisan puisi, yakni sebuah penulisan yang berdiri teguh dengan laras bahasa sastera dan diberikan kebebasan.\nDari perspektif disiplin ilmu stilistik, pelanggaran atau penyimpangan tatabahasa yang berlaku dalam hasil penulisan karya sastera, terutamanya puisi disebut sebagai deviasi, yakni suatu bentuk penyimpangan yang melangkaui ketetapan tatabahasa. Pada akhirnya, penyimpangan ini menjadikan sesuatu karya sastera itu berbeza daripada penulisan karangan biasa sehingga dapat mencapai tingkat estetika kepada pendengar atau pembacanya.\nHal ini bermaksud, penting untuk diketahui bahawa penulisan lirik lagu bukanlah seperti penulisan karangan, esei, wacana atau yang seangkatan dengannya atau sebuah penulisan yang mementingkan sistem tatabahasa dan kesempurnaan penyampaian idea (kohesi dan koheren) sehingga menimbulkan kegramatisan. Oleh yang demikian, menulis lirik lagu sama hukumnya dengan menulis sebuah puisi sastera. Penulis bebas berkarya bagi meraikan keunikan dan kepelbagaian bahasa Melayu, dan sekalipun melanggar hukum tatabahasa, bukanlah satu kesalahan mandatori seperti yang termaktub dalam bentuk penulisan formal.\nKebebasan berkarya yang diberikan kepada penulis pula mempunyai garis keterbatasan sehingga tidak pula melanggar prinsip kesopanan dan kesusilaan. Hal ini turut membuktikan bahawa sesungguhnya kekreatifan berkarya dalam bahasa Melayu bukan sahaja meraikan keunikan dan kepelbagaian berbahasa, malah turut menitikberatkan kesantunan berbahasa.\nApa-apa pun, diksi yang menjadi keutamaan seseorang penulis pastinya mempunyai makna tersurat dan tersirat yang mahu disampaikan di dalam karyanya, baik dalam penulisan puisi mahupun penulisan lirik. Terpulanglah \u00a0kepada pendengar atau pembaca untuk mentafsirkannya secara harfiah atau mencari makna seutuhnya dengan akal dan pengalaman.\nOleh itu, hal yang sepatutnya menjadi keutamaan dalam landskap penelitian penulisan lirik lagu ialah isu yang berkaitan dengan penerapan bahasa rojak (sekerat ular sekerat belut) dan penerapan bahasa tidak sopan. Penerapan unsur ini melibatkan isu jati diri dan moraliti, yakni sesuatu yang lebih utama berbanding dengan pertikaian makna yang melanggar hukum tatabahasa.\nSudah terang lagi bersuluh, umum mengetahui bahawa deviasi dalam sesuatu penulisan karya dibolehkan dan tidak menjadi kesalahan. Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu bukanlah sebuah perjuangan yang selektif tetapi sebuah perjuangan yang menyeluruh. Maka itu, hal seumpamanya perlu tertumpu secara holistik dan pada sesuatu yang lebih kritikal.\nSelain itu, penerapan bahasa rojak dan bahasa tidak senonoh dalam lirik lagu bukanlah sesuatu yang baharu kerana sudah lama tumbuh mekar dan menjalar sehingga kelihatan seperti suatu kebiasaan di sisi sebilangan penulis lirik. Maka itu, di sinilah juga timbulnya kebebasan berkarya yang disalahertikan sehingga melangkaui batas kesopanan dan kesusilaan serta pegangan bahasa jiwa bangsa. Jika hal tersebut tidak dibendung pastinya akan terus meracuni pemikiran generasi pada hari ini dan pada masa akan datang.\nOleh sebab itu, penulis ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan agar satu klausa undang-undang khusus, yakni dalam bidang kuasa diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Penggubalan Akta DBP 1959 untuk menghukum pesalah yang sewenang-wenangnya menggugat kesantunan bahasa Melayu di dalam penghasilan karya seni, yakni penerapan bahasa rojak dan bahasa yang tidak senonoh atau sesuatu yang seangkatan dengannya.\nHingga kini, ketika tidak ada satu garis panduan yang lengkap dan khusus dalam penghasilan lirik lagu terutamanya, kesannya begitu ketara yang menyebabkan berlakunya pelbagai kerancuan bahasa. Secara tidak langsung, hal itu memberikan satu gambaran yang tidak sihat terhadap jati diri dan moraliti masyarakat. Seolah-olah memberikan mesej kepada masyarakat luar bahawa sebilangan masyarakat di negara ini kecanduan bahasa asing sehingga tidak boleh berpisah dalam setiap perkara. Pastinya akan ada sahaja \u201cSekerat ular sekerat belut\u201d yang membaluti tindak-tanduknya. Inilah satu tamparan dan cabaran buat seluruh rakyat Malaysia.\nPada saat kita mahu menjadikan bahasa Melayu menjadi bahasa dunia, masih ada lagi di segenap ruang yang mencandui bahasa penjajah sehingga hilang santun dan susilanya. Kritikan demi kritikan dilontarkan terhadap penulis lirik yang acap kali melakukan perkara ini, namun sayangnya masih tidak berubah ibarat \u201cMasuk ke telinga kanan keluar ke telinga kiri\u201d. Longgar sendat, lapang bertukul jadinya. Bertitik tolak daripada hal tersebut, satu keperluan dalam bidang kuasa perlu diberikan kepada DBP untuk menangani permasalahan tersebut.\nSecara konklusinya, bahasa Melayu ialah satu daripada bahasa yang sungguh istimewa di seantero dunia \u2212 mempunyai keunikan dan kepelbagaian dalam pengaplikasiannya, baik dalam situasi formaliti ataupun penghasilan karya seni. Kebebasan dalam meraikan keunikan dan kepelbagaian bahasa Melayu bukanlah kebebasan untuk menerapkan unsur yang boleh menjejaskan jati diri dan moraliti bangsa Malaysia.\nSemoga isu penggunaan bahasa rojak dan bahasa tidak sopan ini dapat \u201cdisembuhkan\u201d segera agar tidak terus menjadi barah lagi untuk generasi pada hari ini dan seterusnya. Kesemuanya ini memerlukan kerjasama daripada setiap pihak dan tanpa kerjasama yang utuh seolah-olah usaha yang akan bertepuk sebelah tangan." "Bicara Penerbit Malaysia: Buku Alternatif Menyumbang kepada Industri Perbukuan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Tidak dinafikan bahawa kebanyakan buku yang dijual di pasaran mempunyai pelbagai genre, antaranya termasuklah genre romantik, seram, cinta dan agama. Baru-baru ini, penjualan buku alternatif dilihat menerajui pasaran industri perbukuan negara.\nOleh itu, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mengundang dua ahli panel dalam program Bicara Penerbit Malaysia 2022 bagi membicarakan isu Taufan Buku Alternatif Mewarnai Industri Perbukuan Negara. Panel yang diundang ialah Pengarah Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tuan Haji Razali Che Mat dan Pengasas Buku Fixi, Encik Amir Muhammad.\nMenurut Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, penerbitan alternatif banyak membantu dalam meningkatkan industri perbukuan negara.\nSebagai penerbit, kita tidak boleh bersendiri dan perlu bersatu kerana matlamat yang satu, iaitu memandaikan bangsa kita tanpa mengira kategori buku.\n\u201cPenerbitan alternatif ini merupakan sesuatu inisiatif yang bagus dan baik dalam industri buku kerana dapat melonjakkan pasaran perbukuan. Malah, tabiat membaca dalam kalangan orang muda juga dilihat semakin memberangsangkan.\nSehubungan dengan itu, DBP sentiasa menyokong usaha penerbitan demi merealisasikan matlamat yang sama. Katanya lagi, sambutan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) telah berjaya menarik kehadiran 1.25 juta pengunjung sepanjang 10 hari penganjurannya dan menunjukkan masyarakat masih meminati buku.\nDalam perkembangan yang sama, Encik Amir Muhammad berkongsi pengalaman bahawa beliau mula menghasilkan buku indie kerana sedar bahawa terlalu banyak lambakan buku yang berkisar tentang cinta, masakan dan agama.\nSaya cipta kelainan dan tidak sangka fenomena indie dalam industri buku Malaysia mencapai zaman kegemilangan waktu dahulu dan menaikkan kembali minat membaca dalam kalangan generasi muda.\n\u201cPenurunan jualan buku tidak dapat dielakkan, terutamanya apabila melihat keadaan ekonomi kini yang tidak menentu, tetapi distabilkan oleh jualan dalam talian,\u201c jelas Pengasas Buku Fixi ini yang berpendapat bahawa fenomena belian buku alternatif hakikatnya sudah berlaku sejak pelaksanaan Baucar Buku 1 Malaysia diperkenalkan lagi.\nDari segi pemasaran, beliau mengakui bahawa tahun 2022 membawa kejutan kerana penjualan buku datangnya daripada platform media sosial, seperti TikTok yang menaikkan jualan pemasaran buku.\nMenyetujui hal itu, Tuan Haji Razali Che Mat berkata bahawa kebanyakan buku yang terjual ialah hasil daripada usaha penerbit itu sendiri yang mempromosikan buku mereka. Hal ini disebabkan mereka mempunyai pengikut mereka sendiri dan perkara ini berbeza dengan zaman dahulu yang berharap pada pemasaran semata-mata sahaja.\n\u201cSelain itu, penulis sendiri yang berhak untuk memberitahu bahawa hasil karya mereka bagus, ditambah lagi dengan pembelian buku yang boleh dibuat secara dalam talian,\u201d katanya.\nTambah beliau, dari segi gaya bahasa dan penulisan, perkara ini adalah sangat subjektif. Hal ini demikian kerana setiap penulis mempunyai cara mereka tersendiri dalam menulis karya dan kemungkinan hasilnya akan berubah mengikut faktor usia dan personaliti seseorang penulis.\nMenerusi bicara tersebut juga, beliau menjelaskan bahawa:\nDBP juga menyediakan Dana Penggerak Industri Perbukuan Negara kepada penerbit, iaitu kita akan membiayai kos penerbitan tertentu untuk memberikan galakan kepada penulis.\n\u201cHal ini bertujuan sebagai satu platform untuk mengetengahkan lagi bakat yang sedia ada dalam kalangan penulis muda kita,\u201d tambah beliau dalam Bicara Penerbit Malaysia pada petang tadi yang berlangsung selama dua jam secara dalam talian." "Sesi Perkongsian Pengalaman Penerbitan DBP-UUM Press\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerima kunjungan UUM Press pada 2 Ogos 2022 untuk bertukar-tukar pandangan tentang pengalaman masing-masing dalam bidang penerbitan. Perkongsian ini dilakukan dengan matlamat untuk meningkatkan jumlah, kualiti penerbitan dan peluang latihan bersama.\nDalam pertemuan ini, pihak UUM Press diwakili oleh Prof. Madya Dr. Hamidi Ismail (Pengarah UUM Press), Puan Rosma Ishak (Timbalan Pengarah UUM Press), Puan Nor Arpizah Atan (Ketua Seksyen Jurnal), Encik Mohammad Amzari Bakri (Ketua Seksyen Media, Jualan dan Pemasaran) dan Encik Zuraizee Zulkifli (Ketua Seksyen Grafik). Pihak DBP pula diwakili oleh Tuan Haji Razali Che Mat (Pengarah Penerbitan DBP), Dr. Rosmani Omar (Ketua Editor Bahagian Majalah), Encik Azhari Edin (Ketua Editor Bahagian Buku Umum), Puan Nurul Julia Alani Henry (Ketua Editor Bahagian Buku Sastera), Puan Mariati Josepha Mustafa (Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja), Encik Adenan (wakil Ketua Akademi DBP), Encik Ruslan Abdul Raffar (Ketua Bahagian Pengeluaran dan Penyelarasan Penerbitan), Encik Shah Rizal Azwan Ghazali (Ketua Bahagian Harta Intelek), Encik Mohd Syukri Anwar (Editor Jurnal) dan Puan Zaiton Darois (Editor Jurnal).\nSesi perbincangan ini memfokuskan beberapa perkara penting dalam bidang penerbitan, termasuklah kaedah untuk memastikan tempoh penerbitan yang ditetapkan dipatuhi. Dalam hal ini, DBP menetapkan supaya manuskrip telah melalui proses yang ditetapkan dan penulis tidak dibenarkan untuk menyunting lagi manuskrip ketika manuskrip berada dalam fasa penerbitan.\nSelain itu, isu jualan yang tidak memberangsangkan turut dikongsi dalam pertemuan ini. Kedua-dua penerbit ini bersetuju bahawa penulis yang mempunyai ramai pengikut dapat meningkatkan jumlah jualan. Pihak DBP juga mencadangkan supaya produk terbitan yang akan diterbitkan perlu mendapat kerjasama daripada agensi dan pihak tertentu yang dapat membeli produk penerbitan tersebut. Hal ini perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum satu-satu produk penerbitan diterbitkan.\nPada akhir sesi perkongsian ini, kedua-dua penerbit membayangkan penerbitan bersama yang boleh dilaksanakan untuk mendapatkan penulis yang berprofil tinggi, seterusnya meningkatkan jualan setelah produk penerbitan tersebut terbit." "Pemikir Negara: Keluarga Malaysia Teguh Bersama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Radio BERNAMA telah memperkenalkan satu slot temu bual baharu menerusi Program Pemikir Negara yang bersiaran pada setiap hari Selasa, pukul 10.30 pagi bermula bulan Ogos ini, sempena bulan kemerdekaan Malaysia. Topik yang dibincangkan pada temu bual pertama bagi slot ini adalah merupakan tema sambutan hari kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini, iaitu \u201cKeluarga Malaysia Teguh Bersama.\u201d\nMenurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Datuk Annuar Musa, tema tersebut adalah selari dengan konsep keharmonian Keluarga Malaysia yang diaspirasikan oleh Perdana Menteri Malaysia sendiri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Ogos 2021 dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri negara yang kesembilan.\nRadio BERNAMA telah menjemput Profesor Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw yang merupakan Felow Kluster Wanita dan Masyarakat, Majlis Profesor Negara untuk mendapatkan pandangan beliau berkenaan dengan tema Keluarga Malaysia, yakni merujuk masyarakat yang hidup aman damai dan bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.\nMenurut beliau, keterangkuman atau inclusivity adalah sebuah Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama yang menjunjung semangat cinta akan negara. Hal ini juga menunjukkan bahawa rakyat Malaysia yang berbilang bangsa sentiasa bekerjasama walau apa-apapun jua keadaan. Konsep Keluarga Malaysia ini dapat dicapai sekiranya nilai peradaban dipupuk dalam kalangan masyarakat, seiring dengan rukun negara.\nSelain itu, kebersamaan atau common ground pula merujuk gerak kerja dari semua agensi, kementerian dan insiatif rakyat bagi mencapai titik temu ke arah kepentingan bersama. Setiap rakyat hendaklah hidup dalam aman damai dan bersatu padu, serta mempunyai semangat patriotisme demi mempertahankan negara yang makmur dan sejahtera.\nMengulas makna kesyukuran, beliau berpendapat toleransi merupakan payungan penting dalam mempertahankan kemerdekaan selama lebih enam dekad ini. Sebagai negara yang bebas daripada jajahan, rakyat seharusnya mempertingkatkan kerjasama dan indeks kebahagiaan.\nDalam mencari titik keseimbangan antara kebebasan bersuara dan menjaga hati setiap warga, beliau menekankan kepentingan untuk menghormati demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran raja berperlembagaan dan Yang Di Pertuan Agong sebagai ketua negara, perlembagaan persekutuan dan rukun negara perlu dihormati dan dijunjung demi menjaga kepentingan ekonomi dan sosial rakyat tanpa menjaga kepentingan mana-mana pihak. Beliau menasihatkan agar rakyat Malaysia tidak cepat melatah dan tidak melihat setiap perkara dari sisi negatif.\nTambah Dr. Jessica, rakyat Malaysia seharusnya menjadikan bahasa Melayu sebagai teras perpaduan kerana hal ini merupakan kunci perpaduan kepada bangsa dan negara.\nMengulas lanjut mengenai isu bahasa Melayu, beliau mengatakan bahawa bahasa Melayu perlu diutamakan dan usaha ini dapat dilihat melalui program seperti jelajah puisi di universiti, sekolah rendah dan menegah yang telah banyak dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha membawa bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. Misalnya, Wan Muhammad Faris Wan Mohd Noor, seorang ikon yang telah mengembara ke 20 buah negara Eropah menerusi Misi Jelajah Berbasikal Solo Alumni Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selama 85 hari yang menyatakan bahawa, bahasa Melayu sangat diterima baik oleh setiap negara mengikut pendekatan yang digunakan kepada rakyat negara tersebut. Penggunaan pantun ketika berucap di hadapan warga asing boleh memberi pengenalan berkenaan puisi tradisional dalam bahasa Melayu di negara kita.\nSementara itu, Dr. Jessica turut berkongsi bahawa Wan Muhammad Faris telah membawa diplomasi budaya, yakni memakai baju bercorak peta Malaysia. Malah, ikon tersebut turut berpeluang memperkenalkan makanan, budaya dan etnik negara, terutamanya bagi negeri Sabah dan Sarawak. Beliau berkongsi usaha untuk menterjemahkan lagu puisi bahasa Melayu ke dalam bahasa Mandarin dan Tamil dengan muzik dan melodi yang sama juga dapat memberikan wajah dan suasana baharu yang akan menarik minat anak-anak muda zaman kini." "Wajarkah Pemaksaan Pelupusan Kereta Berusia Lebih 10 Tahun?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBaru-baru ini seorang pengkaji masalah kesesakan jalan raya telah merumuskan bahawa kaedah penyelesaian bagi masalah kesesakan di jalan raya ialah dengan mengehadkan usia kereta yang dibenarkan menggunakan jalan raya diberikan kepada kereta yang hanya berusia 10 tahun ke bawah. Hal ini bermakna, apabila kereta mereka sudah berusia lebih 10 tahun, pemilik kereta tersebut perlu membeli kereta baharu dan melupuskan kereta lama.\nPada pandangan penulis, cadangan tersebut adalah seperti menyuruh orang yang datang awal ke masjid supaya keluar dari masjid selepas berada di dalamnya selama 10 minit untuk menyelesaikan masalah kesesakan yang berlaku di dalam masjid walaupun solat belum didirikan. Kemudian orang-orang tersebut akan dibenarkan untuk masuk semula ke dalam masjid dengan beratur untuk masuk semula bagi mendirikan solat. Adakah\u00a0 kaedah ini akan menyelesaikan masalah kesesakan yang berlaku di dalam masjid itu?\nAnalogi lain adalah seperti masalah terlampau banyak perabot di dalam rumah. Dengan menggunakan logik beliau, pemilik rumah akan dinasihati untuk membuang semua perabot yang berusia lebih 10 tahun dan membeli perabot baharu. Adakah kaedah ini juga akan menyelesaikan masalah keadaan rumah yang padat?\nSudah pasti cadangan tersebut tidak akan menyelesaikan masalah secara langsung kerana jumlah kereta di jalan raya tidak akan berkurangan. Oleh sebab kilang-kilang kereta masih mengeluarkan ribuan kereta pada setiap hari dan pengguna dipaksa untuk terus membeli, maka kesesakan jalan raya akan terus bertambah teruk dari tahun ke tahun. Dengan kata lain, cadangan pengkaji tersebut sebenarnya tidak masuk akal sama sekali.\nBeliau juga turut menyatakan bahawa kereta yang berusia lebih 10 tahun tidak selamat berbanding dengan kereta yang digunakan di bawah usia 10 tahun. Marilah kita berfikir secara waras, iaitu antara kereta yang berumur kurang 10 tahun tetapi tayarnya sudah botak dan pad brek pula tidak pernah ditukar berbanding dengan kereta yang berumur lebih 10 tahun, namun tayar dan pad breknya masih baharu, manakah yang lebih selamat untuk digunakan di atas jalan raya? Secara logiknya, sudah tentu kenderaan dengan tayar dan pad\u00a0 brek baharu yang lebih selamat. Jelaslah di sini bahawa penyelidik berkenaan tidak menyedari bahawa faktor utama keselamatan pengguna jalan raya melibatkan amalan penyelenggaraan kereta dan tidak semestinya melibatkan umur kereta.\nSelain itu, satu lagi kenyataan beliau termasuklah kereta yang berumur lebih daripada 10 tahun adalah tidak baik untuk alam sekitar. Andaian ini juga tidak berasas. Cuba kita bayangkan senario individu tertentu. Sebagai contoh, katakanlah Encik Ahmad (bukan nama sebenar) yang bergaji rendah membeli kereta baharu berharga RM100 ribu ringgit dengan cara berhutang selama sembilan tahun. Oleh sebab beliau perlu membayar hutang tersebut, Encik Ahmad dan mungkin juga isterinya akan bergilir-gilir menjadi pemandu Grab selepas pulang daripada kerja untuk menjana pendapatan tambahan. Akibatnya, kereta yang baru dibelinya itu akan dipandu pada setiap hari sejauh ratusan kilometer serta menggunakan petrol berpuluh-puluh liter sehari.\nBandingkan pula dengan keadaan jiran beliau, iaitu Encik Rashid (bukan nama sebenar) yang telah selesai membayar hutang kereta yang berumur 10 tahun. Encik Rashid tidak berminat untuk membeli kereta baharu dan oleh itu tidak perlu mencari pendapatan lebih dengan menjadi pemandu Grab. Selepas pulang daripada kerja, beliau berpeluang berehat dengan selesa di rumah dan selepas itu akan ke surau untuk solat Maghrib dan Isyak. Apabila pulang dari masjid, beliau dengan gembiranya dapat meluangkan masa untuk makan malam bersama-sama dengan isteri dan anak-anaknya. Selepas makan malam pula, beliau akan menggunakan masa yang ada untuk berbual-bual dengan isteri dan anak-anak sebelum tidur. Oleh sebab beliau hanya menggunakan kereta untuk pergi kerja dan menguruskan keperluan penting sahaja, maka kereta beliau hanya berjalan sejauh purata 20 kilometer sehari sahaja. Contoh ini adalah jelas membuktikan bahawa sebenarnya kereta Encik Rashid adalah lebih mesra alam sekitar berbanding dengan kereta Encik Ahmad walaupun kereta Encik Ahmad itu lebih baharu.\nNamun demikian, apa-apa yang lebih penting untuk kita sedari termasuklah proses pembuatan kereta baharu oleh kilang-kilang sangat banyak menggunakan tenaga dan mengeluarkan karbon dioksida. Jika kereta hanya boleh digunakan selama 10 tahun sahaja, maka kilang-kilang kereta akan lebih banyak mengeluarkan kereta-kereta baharu. Keadaan ini sudah tentu akan terus meningkatkan pendapatan kepada industri kereta. Pendapatan kepada industri perbankan juga akan turut bertambah kerana kebanyakan pembeli akan berhutang untuk membeli kereta baharu. Namun demikian, kesan kepada alam sekitar sebenarnya pula jauh semakin tenat akibat operasi kilang kereta yang semakin meningkat.\n\nAda dalam kalangan kita yang menyangka bahawa kereta baharu yang menggunakan teknologi elektrik akan membantu mengurangkan kesan negatif kepada alam sekitar. Teknologi ini dikenali sebagai teknologi hijau. Namun demikian, bagi membekalkan tenaga tersebut, bekalan elektrik terpaksa ditambah di stesen-stesen jana kuasa. Secara umumnya, ada antara kita yang mungkin tidak sedar bahawa kebanyakan stesen jana kuasa yang membekalkan tenaga elektrik di Malaysia menggunakan arang batu, gas dan minyak diesel. Oleh itu, peningkatan operasi stesen jana kuasa akan menambahkan jumlah karbon dioksida ke ruang udara dan meningkatkan pencemaran.\nDalam kalangan rakyat yang dipaksa membeli kereta baharu pada setiap 10 tahun, kebanyakan daripada mereka terpaksa berhutang dengan bank setiap 10 tahun dalam jumlah puluhan atau ratusan ribu ringgit. Mereka terpaksa bekerja keras untuk memastikan mereka mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk membayar balik pinjaman pembelian kereta baharu. Aktiviti ekonomi sudah pasti akan bertambah. Jumlah kilang-kilang dan pejabat-pejabat akan bertambah dan jumlah kereta di jalan raya juga akan turut bertambah. Namun begitu, bayangkan kesan negatifnya terhadap alam sekitar. Maka, situasi inilah sebenarnya yang sedang berlaku di bandar-bandar besar di negara China apabila kabus hitam (smog) dilaporkan semakin bertambah teruk pada setiap tahun.\nSebenarnya, perkara yang sangat penting untuk kita sedari adalah jika kereta yang digunakan sudah berusia 10 tahun dan diselenggarakan dengan baik, besar kemungkinan kereta berkenaan masih elok dan masih boleh dipakai tanpa sebarang masalah. Oleh itu, polisi melupuskan kereta yang masih berkeadaan baik jelas merupakan suatu pembaziran. Dalam Islam, pembaziran adalah sesuatu yang amat dibenci oleh Allah SWT berdasarkan firman-Nya yang jelas di dalam Surah Al Isra, ayat 27 yang bermaksud:\nSesungguhnya orang-orang yang membazir yang membelanjakan harta kepada jalan yang menyalahi syarak itu ialah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat kufur kepada Tuhannya.\nBerbalik pada senario Encik Rashid, cuba kita bayangkan suasana malang yang akan menimpa beliau apabila kerajaan bersetuju untuk menerima cadangan oleh pengkaji tersebut dan menguatkuasakan polisi untuk menghalang kereta yang berumur lebih daripada 10 tahun daripada menggunakan jalan raya. Encik Rashid terpaksa melupuskan kereta beliau dan membeli kereta baharu yang berharga puluhan ribu ringgit. Beliau perlu meminjam dari bank untuk membeli kereta baharu tersebut kerana tidak mampu untuk membeli secara tunai. Oleh sebab beliau berpendapatan rendah, maka beliau terpaksa berhutang dengan bank selama sembilan tahun walaupun sebenarnya tidak perlu jika beliau dibenarkan menggunakan kereta beliau yang memasuki usia 11 tahun dan telah diselenggarakan dengan baik sebelum itu. Akibat daripada keadaan tersebut, Encik Rashid juga terpaksa menjadi pemandu Grab pada sebelah malam untuk menjana pendapatan tambahan. Beliau tidak lagi dapat pergi ke surau selepas pulang daripada kerja dan juga tidak akan ada banyak masa untuk bersama-sama dengan anak-anak dan isterinya. Adakah keadaan seperti ini akan mewujudkan keadaan yang sejahtera dalam kalangan masyarakat? Adakah kerajaan perlu menerima cadangan seperti ini?\nKerajaan perlu berhati-hati apabila mendengar nasihat daripada golongan yang menggelar diri mereka sebagai pakar, namun sebenarnya tidak berfikiran jauh sebelum memberikan padnangan mereka. Polisi memaksa kereta dilupuskan selepas 10 tahun merupakan polisi yang berasaskan sikap kebendaan semata-mata, iaitu dengan mementingkan pertumbuhan ekonomi yang mengatasi segala-galanya. Polisi tersebut sudah tentu akan menguntungkan segelintir pihak yang memiliki saham dalam industri kereta dan juga industri kewangan sahaja. Akan tetapi, polisi tersebut secara jangka panjang akan mendatangkan kesengsaraan kepada jutaan rakyat, terutamanya kepada golongan yang berpendapatan rendah. Tidak dinafikan lagi bahawa cadangan yang dikemukakan ini merupakan polisi yang tidak wajar kerana negara Barat seperti Amerika dan Eropah juga masih enggan melaksanakannya. Adalah amat pelik jika sebaliknya negara Islam seperti Malaysia pula yang menguatkuasakannya.\nProfesor Dr. Mohd. Nazari Ismail, Profesor Kehormat, Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya." "Aura dan Karisma Pemimpin, Pembakar Semangat Rejimen Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nPadang Besar \u2013 Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menghadiri Majlis Makan Malam Rejimental Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia di Kelab Perwira, Kem Bukit Keteri, semalam.\nMajlis tersebut diadakan bersempena \u201cDining Out\u201d\u00a0perpisahan Timbalan Komander\u00a0ke-22, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak\u00a0yang bakal bertukar ke Komponen Pertahanan ESSCOM, Lahad Datu, Sabah sebagai Ketua Staf Operasi.\nDalam majlis keraian tersebut, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi memaklumkan bahawa beliau amat bersyukur kerana banyak menimba pengalaman dan ilmu berkaitan dengan Askar Wataniah, Negeri Perlis.\nMenariknya, menurut beliau, terdapat pelbagai peluang yang diperoleh khususnya dalam berkolaborasi dengan agensi lain melalui idea Duli-Duli Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda yang mempunyai aura, personaliti yang berkarisma dan amat selesa didekati.\n\nMarilah bersama-sama bersatu dengan barisan pegawai tetap dalam menjadikan Askar Wataniah sebagai satu barisan yang mampan untuk membantu ganti anggota tetap Tentera Darat dalam mempertahankan negara dan negeri Perlis yang tercinta ini khasnya.\n\u201cKesedaran sebagai perwira dan keberadaan perlu wujud dalam diri setiap pegawai dalam angkatan simpanan.\nJelas beliau\u00a0lagi, pelibatan pegawai sukarela dapat menguatkan jalinan hubungan antara pegawai tetap dan bersama membantu Rejimen Askar Wataniah merekrut, melatih dan mengekalkan keaktifan anggota sukarela walaupun pelbagai cabaran dan kekangan yang dihadapi bagi menyertai pelbagai aktiviti rejimen.\nKeberangkatan \u00a0Raja Muda Perlis\u00a0dan Raja Puan Muda Perlis\u00a0disambut oleh Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak serta Ahli-ahli Kelab Perwira Rejimen yang berpegang kepada slogan,\u00a0\u201cDi Latih untuk Perang\u201d\u00a0berkenaan.\nMengulas lebih lanjut berkaitan dengan khidmat sebagai Timbalan Komander di Perlis, Mohamad Zaidi telah melaksanakan Persiapan Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri Ke 32/2021 secara fizikal dan juga dalam talian, terlibat dalam Operasi PENAWAR (COVID-19) dan Operasi Murni (Ribut bersama JKM dan MAIPs), turut serta menjayakan Projek Jiwa Murni Kampung\u00a0Pulau Ketam dan Lorong Wataniah di Projek Transformasi DiRaja Kampung\u00a0Nelayan Warna Warni Seberang Ramai Kuala Perlis serta menganjurkan Eks PERBAH 2019 berupa lawatan kerja Tuanku Raja Muda ke kawasan Op PASIR di sempadan negara sekitar perairan Pantai Timur Sabah." "Remaja Harus Dilengkapi dengan Ilmu Pengetahuan dan Jati Diri yang Kukuh \u2013 Raja Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKangar \u2013 Ketika berkenan berangkat merasmikan Hari Anugerah Cemerlang bagi Sesi Akademik 2022/23 di Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah masalah rasuah perlu dibanteras dari peringkat sekolah lagi.\nPendidikan mengenai ancaman dan kesan rasuah haruslah ditanam dalam setiap jiwa anak-anak muda seperti, \u2018Melentur buluh biarlah dari rebungnya\u2019.\nBerdasarkan kajian dari Universiti Malaya yang bertajuk \u201cVoices from the Ground: The Corruption Complex in Malaysia\u201c pada tahun lalu, baginda menzahirkan rasa terkilan apabila mendapati sebanyak 51 peratus responden bersetuju bahawa rasuah merupakan budaya yang sedang berakar di negara kita.\nDYMM Tuanku Raja Perlis menegaskan bahawa,\nSemua rakyat khususnya, remaja perlu dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan jati diri yang kukuh agar mereka menjadi insan yang dihormati.\n\u201cDalam hal ini, tanggungjawab ibu bapa juga adalah amat penting supaya anak-anak menjadi insan yang bukan sahaja hebat dari aspek intelektual, malah dilengkapi dengan rohani dan jati diri yang kukuh.\nDalam hal berlainan, baginda menitahkan\u00a0 berasa amat berdukacita atas perbuatan menghina kaum dan agama yang berlaku baru-baru ini. Perkara sebegini wajar dicegah supaya tidak menjejaskan perpaduan dalam kalangan rakyat. Setiap provokasi terhadap agama dan kaum harus ditangani secara berhemah.\n\u201cRemaja kini dilihat sangat terdedah dengan perkara negatif daripada media sosial, seperti fitnah, berita palsu, pornografi, malah pengaruh LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transjantina).\u201d\nBaginda berpesan,\nJauhilah perkara sebegini dan tanamlah sifat saling menghormati. Ingatlah bahawa perpaduan adalah amat penting dalam memastikan negara stabil dan terus maju demi masa depan generasi akan datang.\nDemikian dititahkan oleh DYMM Tuanku Raja Perlis ketika berkenan berangkat merasmikan majlis pada hari ini setelah dua tahun tertangguh akibat pandemik COVID-19.\nKeberangkatan baginda yang diiringi Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merupakan alumni sekolah kluster berkenaan dari tahun 1980\u20131982 itu disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman dan Pengetua sekolah, Fauziah Abd. Hamid." "Raja Muda Perlis Perkenan Menyaksikan Perbarisan Serah Terima Tugas Timbalan Komander Rejimen\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBukit Keteri \u2013 Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan acara Perbarisan Serah Terima Tugas Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia yang diadakan di Padang Kawad Kem Bukit Keteri, semalam.\nDalam upacara menandatangani Nota Serah Terima Tugas dan Serah Terima Tongkat Kuasa, Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Komander Rejimen merakamkan ucapan penghargaan kepada Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak atas segala khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang perkhidmatan sebagai Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah yang ke-22 dari 25 Mac 2019 hingga 3 Ogos 2022.\nUpacara ini turut disaksikan bersama ialah Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.\nBaginda bertitah, \u201cSesungguhnya segala sumbangan Mohamad Zaidi itu amatlah dihargai dan semoga beliau terus mencurahkan bakti kepada agama, bangsa dan negara serta berjaya di tempat perkhidmatan yang baharu.\u201d\nAntara jasa yang ditabur oleh beliau, termasuklah berjaya memperkenalkan Logo Komersial R504AW, Logo Patch berbentuk Singa, mengadakan kembali Perbarisan Komander dan Majlis Makan Malam Rejimental R504AW, selain menaik taraf bangunan Wisma Bintara\u00a0 Rejimen.\nTurut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Panglima Briged ke Enam Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Akib Hj Yusof dan Timbalan Komander yang baharu, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji." "Buku Genta telah Berbunyi: Masa untuk Generasi Baru Dilancarkan Hari Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Buku Genta telah Berbunyi: Masa untuk Generasi Baru hasil karya YM Raja Ahmad Aminullah yang merupakan penulis, penyair dan budayawan telah dirasmikan oleh YB Dato\u2019 Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri di PAUM Clubhouse, Universiti Malaya pada pagi tadi.\nBuku Genta telah Berbunyi: Masa untuk Generasi Baru berkisar tentang permasalahan negara yang harus diambil tindakan segera dalam mendirikan visi masyarakat dan bangsa yang progresif oleh generasi baharu, selain menggerakkan revolusi pemikiran yang lebih matang.\nDalam majlis pelancaran buku yang berlangsung hampir dua jam, YB Dato\u2019 Sri Saifuddin Abdullah menyokong kuat pandangan penulis tersebut yang menegaskan bahawa ruang politik bukanlah untuk membina kekayaan dan kemewahan peribadi, tetapi adalah sebenarnya lahan khidmat untuk menegakkan perjuangan murni.\nPolitik ilmu, bukan politik ampu; politik hikmah, bukan politik fitnah; dan politik bakti, bukan politik undi.\nYB Dato\u2019 Sri Saifuddin Abdullah berkata, YM Raja Ahmad menggunakan kata \u201cGenta\u201d dalam tajuk buku ini membawa makna \u201cloceng amaran\u201d yang merujuk pemberitahuan. Buku ini dilihat telah menghimpunkan sejumlah perkara yang menggusarkan rakyat, seperti pemimpin yang pecah amanah, penyelewengan dan pengkhianatan.\nMenurut YB Dato\u2019 Sri Saifuddin Abdullah, negara memerlukan ahli politik yang berorientasikan polisi bukan berorientasikan personaliti semata-mata. Ahli politik yang berilmu tinggi dapat memastikan kestabilan negara terus terjamin, sekali gus menyatupadukan Keluarga Malaysia melalui kematangan sebagai pemimpin.\n\u201cOleh itu, saya mengundang YM Raja Ahmad bersama-sama membangunkan idea demokrasi Malaysia yang pelbagai kaum dan moderat. Nasib kita bergantung pada generasi baharu. Satu daripada tiga cabaran besar yang sedang dihadapi oleh dunia ialah kemajuan teknologi,\u201c ujarnya. Tambah beliau lagi:\nHari ini kita hidup dalam dua dunia, iaitu kehidupan fizikal dan kehidupan digital. Ramai dalam kalangan generasi saya tidak selesa berada dalam kehidupan digital, tetapi saya yakin generasi anak muda bukan sahaja selesa, malahan merekalah menjadi penggerak kehidupan digital.\nMengulas lebih lanjut, YM Raja Ahmad Aminullah turut berkata,\nPada masa sekarang merupakan waktu yang tepat untuk generasi baharu melakarkan sumbangan mereka pada pembangunan dan pentadbiran negara. Seorang pemimpin seharusnya membuat keputusan yang rasional dalam suasana yang kondusif dan membela hak rakyat.\nUjarnya lagi, generasi kini perlu mempunyai inisiatif sendiri untuk mencari peluang terbaik dalam menyuarakan pendapat yang tidak hanya menunggu ruang diberikan.\n\u201cJadi jangan tunggu jika tidak dijemput, jadilah mandiri yang berdiri di atas kaki sendiri,\u201d katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran buku tersebut.\n\u201cPada masa yang sama, saya menggesa pihak berkuasa untuk memberikan ruang dan golongan muda pula tidak hanya semata-mata menunggu peluang itu agar pandangan mereka tidak tenggelam dalam perbincangan atau perbicaraan.\u201d\nSelain itu, penulis tersebut turut mengutarakan pendapat bahawa generasi baharu bukan hanya pemimpin masa depan, malah menjadi pemimpin yang memimpin golongan lebih muda dan seangkatan dengannya.\n\u201cJadilah pemimpin yang senadi dan senada dengan rakyat,\u201d ujar penulis yang berjuang melakukan revolusi pemikiran demi negara yang tercinta." "Beri Peluang kepada Generasi Baharu dalam Politik dan Pentadbiran Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Baru-baru ini,\u00a0forum bersempena dengan majlis pelancaran buku Genta telah Berbunyi: Masa untuk Generasi Baru\u00a0membawakan beberapa ahli panel membincangkan tentang permasalahan negara serta cabaran dan penyelesaian yang perlu dilakukan dalam sistem pentadbiran negara.\nMalah, turut dibincangkan tentang peranan orang muda dalam menerajui sistem politik dan pentadbiran dalam negara.\nMembahaskan lebih lanjut, Mantan Setiausaha Sulit Speaker Dewan Rakyat, Fatihah Salabuddin menyatakan perbalahan dalam kalangan generasi tua dalam politik menyebabkan golongan muda yang terlibat menjadi gusar.\nUntuk mengubah landskap politik, kita perlu meningkatkan pelibatan golongan muda dalam semua parti di Malaysia dan bukan satu kelompok sahaja. Kita juga perlu membincangkan tentang peluang pekerjaan apabila had pencen dinaikkan, sekali gus memberikan kesan kepada golongan muda,\u201d ujar Fatihah telah membicarakan tentang isu yang dihadapi negara kini.\nMenurut Pemuda UMNO, Nor Azleen Ambros, ilmu seharusnya diletakkan pada keutamaan paling tinggi dalam menentukan sesuatu perkara untuk merancang tertentu dan menghadapi krisis pada hari ini. Banyak permasalahan yang dilalui dalam negara perlu dibuat berdasarkan fakta supaya lebih efektif dan berkesan, serta memberikan manfaat kepada rakyat.\nSelain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri, Lim Yi Wei berpendapat bahawa peranan anak muda untuk membetulkan ketidakadilan atau kesenjangan yang ada.\nKita nampak semasa pandemik banyak masalah atau isu yang timbul. Pandemik merupakan masa yang sesuai untuk melihat adakah dasar sedia memberikan manfaat kepada semua atau kepada satu golongan sahaja?\nTambah beliau, buku Genta telah Berbunyi: Masa untuk Generasi Baru\u00a0juga ada menyentuh tentang kepercayaan rakyat\u00a0dapat dikembalikan dengan mencari satu keadilan susulan daripada kesenjangan ekonomi, sosial dan membela rakyat yang tertindas.\nPenyelidik, Abdul Muqit Muhammad\u00a0berkata, \u201ckita perlu faham tentang permasalahan dalam negara untuk kita tentukan jenis inisiatif yang boleh diambil untuk selesaikan masalah. Satu daripada masalahnya\u00a0adalah kerosakan sistem negara ini tampak stabil dari peringkat pucuk sehingga akarnya. Hakikatnya, hal ini tidak pernah diselesaikan dan boleh membarah kepada budaya, perfileman dan pentadbiran universiti.\nPermasalahan tentang korupsi seolah-olah telah menjadi kebiasaan dan tidak boleh ditutup lagi. Sistem awam juga sudah lama tidak dibincangkan secara baik. Sebagai contohnya, masalah kesesakan lalu lintas, sistem banjir dan pengangkutan awam yang tidak dibincangkan kerana kita berdepan dengan sistem yang tidak dapat mengungkap idea baharu.\nSelain itu, perubahan atau transisi dari generasi lama kepada generasi baharu. Sebagai contoh, negara Indonesia telah memberikan peluang kepada generasi\u00a0baharu dalam politik,\u00a0tetapi di Malaysia masih tiada perubahan dan tidak mengangkat suara anak muda. Peralihan perlu dilakukan dari sekarang.\nDalam perkembangan lain, perbincangan mengenai tindakan yang boleh dilakukan dalam jangka pendek untuk menghadapi krisis di Malaysia\u00a0turut diadakan.\nPenyelidik, Teo Lee Keen berkata,\nKita terlalu menafikan krisis yang timbul. Kita perlu menyusun kembali dan membentuk kelompok untuk mengambil peduli tentang masalah itu. Dasar harus diubah untuk memberikan peluang kepada orang muda supaya melibatkan diri.\nFatihah turut menyatakan bahawa apabila pandemik berlaku, rakyat boleh lihat isu yang rosak dalam sistem politik dan agensi kerajaan.\n\u201cKita terlalu berada dalam keadaan selesa dan tiada tekanan sehingga kurang cakna tentang sistem demokrasi dalam Malaysia dan fungsi\u00a0dalam pentadbiran. Apabila terlalu selesa,\u00a0kita kurang peka akan kerosakan yang berlaku. Hal ini semua berbalik pada kesedaran masyarakat dan generasi muda dalam sistem politik.\u201d\nMenurut beliau, perkara yang paling penting adalah pelibatan anak muda dalam sistem politik dan membabitkan diri dalam keputusan yang dilakukan dalam sistem pentadbiran. Umumnya mengetahui, negara kita kurang dalam kesedaran demokrasi kerana tiada subjek spesifik dalam pendidikan demokrasi atau tatanegara. Sebagai contoh,\u00a0pendidikan di luar negara telah mendedahkan sistem pemerintahan negara kepada kanak-kanak seawal usia enam tahun. Apabila kanak-kanak mempunyai pengalaman dan pengetahuan, maka\u00a0mereka lebih mengetahui sistem demokrasi yang berlaku dalam negara.\n\u201cWalaupun negara Malaysia meletakkan syarat pengundi kepada umur 18 tahun, namun adakah generasi kini sudah bersedia untuk mengundi dan faham akan sistem politik dalam negara? Oleh itu, kita perlu mengatasi kelemahan itu supaya golongan muda lebih berilmu dalam memilih pemimpin negara,\u201d ujarnya lagi dalam perbahasan forum tersebut." "Mentaliti Toksik dalam Komuniti Seni dan Komedi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMasih panas dan tular kontroversi tentang seorang wanita yang hadir ke sebuah kelab komedi terbuka di Kuala Lumpur baru-baru ini kononnya untuk mempersembahkan komedi solo. Pada awal pengenalan, dia mendakwa dirinya Islam, menghafaz sebahagian al-Quran dan mendapat pendidikan agama sejak kecil dalam persekitaran keluarga Melayu sebelum bertindak menanggalkan tudung lalu mendedahkan sebahagian daripada auratnya dengan berpakaian mencolok mata. Semua itu kononnya atas nama komedi dan mahu membuat jenaka.\nBagi yang melihat dan mendengar aksi tersebut (bukan sahaja pada babak permulaan tetapi keseluruhannya aksi beliau), hampir tidak ada yang kelakar. \u201cPunchlines\u201d atau bahagian yang melucukan tidak menjadi. Komedinya tidak berisi dan banyak orang yang mencebik dan berkerut. Pada mereka, aksinya itu mengarut.\nYang ada hanyalah penekanan yang bersungguh-sungguh bahawa beliau ialah seorang penganut agama Islam, bertudung sejak kecil, menghafal sebahagian daripada al-Quran dan mendapat pendidikan agama dalam persekitaran hidup keluarga Melayu.\nPasti kita tertanya-tanya, apakah motif dan niatnya bertindak sebegitu? Yang kita tercari-cari, di manakah komedi dan jenakanya?\nDalam insiden seorang wanita yang cuba mencuri perhatian dengan cubaan menjadi pelawak \u201cjadian\u201c ini, terdapat banyak yang boleh kita perhatikan dan belajar.\n\u00a0\nPemahaman tentang Fungsi Agama dalam kehidupan\nAgama seharusnya menjadi had dan batas yang menentukan perkara yang boleh menjadi gurauan dan bukannya agama yang dijadikan gurauan. Sekalipun kesucian agama tidak sedikit pun ternoda dan terkurang dengan olokan dan momokan manusia, tidak wajar untuk\u00a0 mana-mana pihak menjadikan agama sebagai bahan jenaka.\nAdakah ini isu baharu dan terpencil? Sebenarnya tidak.\nSegelintir di luar sana yang dengan sengaja dan sedar memilih untuk menghina, memperolok, merendah-rendah dan mempermainkan agama, bangsa dan budaya atas nama komedi, seni dan kebebasan bersuara. Pada mereka, perkara sebegitu \u201cbiasa\u201d dan mungkin kelihatan \u201chebat\u201c?\n\u00a0\nPemahaman yang Lemah dan Terpesong tentang Komedi, Jenaka dan Seni\nKomedi merupakan peluang untuk membuat orang terhibur dan ketawa, namun tetap bukan ruang untuk menelanjangkan diri agar ditertawakan. Benar komedi dan seni itu lazimnya ada sisi yang sedikit nakal, tetapi bukan antiakal.\nKomedi, seni atau apa-apa ekspresi kreatif sekali pun bersifat gurauan dan \u201cringan\u201d, perlu mempunyai nilai dan mesej. Pelawak yang terkenal seperti Trevor Noah selalunya akan mengutamakan mesej dan nilai yang baik, bukannya gigih dan terdesak seperti George Carlin yang akan memasukkan segala elemen yang boleh memberikan imej buruk terhadap sesuatu agama, bangsa dan budaya.\nSekiranya dalam sesuatu karya seni, komedi dan ekspresi kreatif, nilai dan mesej yang baik dikesampingkan, maka, aspek murahan merupakan adjektif yang paling ringan untuk menggambarkan mutu karya tersebut.\nMengubah Mentaliti Sempit\nPertama, antara mentaliti sempit yang boleh dijadikan contoh ialah mentaliti yang suka menyalahkan agama. Kemunculan wanita tersebut yang mahu menjadi pelawak jadian ini bukanlah insiden pertama. Sesetengah wanita bertudung yang mendakwa kononnya tertekan, terpaksa dan menderita hidup beragama, lalu menjadikan agama sebagai alasan untuk mereka berubah menjadi liar dan hedonis. Mentaliti seperti ini sangat keanak-anakan.\nKedua, sikap menyalahkan ibu bapa dan asuhan keluarga atas segala kesulitan dan kehidupan yang tidak bahagia. Penulis karya kreatif berstatus bilionair, JK Rowling semasa berucap pada Harvard Commencement 2008 mengungkapkan:\n\u201cThere is an expiry date on blaming your parents for steering you in the wrong direction\u201d.\nDalam maksud mudah dan ringkasnya, berhentilah menyalahkan semua perkara kepada ibu bapa. Sekalipun mereka sememangnya salah dan bukanlah ibu bapa yang baik, sampai bilakah kita mahu berandaian begitu? Kita sendiri yang perlu mencari jalan membetulkan kesilapan lalu, kekurangan diri dan tekanan hidup, bukannya terus menerus menyalahkan ibu bapa dan keluarga sekalipun selepas sudah 20 tahun menjadi orang dewasa.\nKetiga, ketaasuban menyembah populariti dan mengejar penerimaan orang sehingga hilang nilai diri, kesantunan, mesej besar dan kecerdikan akal. Dunia media sosial pada hari ini hanya memburukkan mentaliti toksik yang semakin menjadi dalam budaya masyarakat sekarang. Oleh sebab itu, ada yang mencipta lagu yang dungu, menghasilkan klip video yang memalukan diri serta membuat kandungan seperti menarik tudung orang awam yang semuanya bertujuan mengundang kemarahan serta kecaman.\nKeempat, masyarakat perlu bertegas bahawa jenaka, komedi, seni dan karya kreatif bukan lesen menjadi dungu, biadap, rasis dan tidak sensitif. Di Barat, segala-galanya dibolehkan dan Jesus yang dianggap tuhan menjadi bahan jenaka dalam semua perkara, hatta dalam produk pornografi dan rangkaian ejekan dalam segenap ruang litup hidup. Pastinya ini bukan makna dan aspirasi kebebasan bersuara dan nilai sebenar seni kreatif. Masyarakat perlu menolak kebebasan mutlak seperti ini.\nOleh hal yang demikian, maka jadikanlah setiap perkara yang kita lakukan sebagai peluang mengajak masyarakat untuk berfikir dan menjadi lebih baik dan bukannya mahu bersaing dengan menonjolkan diri sendiri yang mahu tampil dengan persembahan yang paling jelik.\nDalam berjenaka dan berkarya, biarlah berakal. Menjatuhkan maruah dan kebijaksanaan diri tidak pernah kelakar. Menjadikan orang lain bahan ketawa, tidak pernah pintar." "Masyarakat Disaran untuk Belajar Bahasa Isyarat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2212 Sebagaimana yang kita sedia maklum, orang kurang upaya (OKU) dikategorikan sebagai golongan istimewa. Di Malaysia, OKU pekak makin meningkat jumlahnya, iaitu hampir 50 ribu orang. Bagi golongan OKU ini dan OKU pembelajaran yang lain, mereka bukanlah golongan yang berpenyakit atau bermasalah. Mereka insan istimewa yang terlibat dalam kes kecelaruan neurodikal. Oleh itu, elakkan memanggil mereka sebagai golongan berpenyakit sebagai cara untuk menyantuni mereka.\nDi Malaysia pada masa ini, kita mempunyai jurubahasa isyarat tetapi mereka tidaklah ramai. Antara inisiatif yang diwujudkan untuk golongan OKU ini termasuklah menggunakan bahasa isyarat sebagai bahasa ketiga di sekolah rendah supaya mereka boleh bertutur dan belajar sejak sekolah rendah lagi.\nSehubungan dengan itu, sudah tiba masanya kita mempunyai skim perjawatan jurubahasa isyarat dalam perkhidmatan awam. Hal ini amat penting bagi membantu golongan OKU dan orang pekak berkomunikasi selain dapat dijadikan sebagai kerjaya. Selain itu, di setiap jabatan kerajaan juga perlu ada jurubahasa isyarat. Amat penting platform media seperti siaran berita dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di televisyen yang menggunakan khidmat jurubahasa isyarat.\nSementara itu, antara usaha untuk membudayakan bahasa isyarat termasuklah yang diusahakan oleh Persatuan OKU Sentral, yang mengambil inisiatif dengan menganjurkan kelas pengajaran bahasa isyarat pada setiap hari Sabtu bagi melatih jurubahasa isyarat bersama-sama Persatuan Orang Pekak Malaysia. Tujuannya adalah untuk melahirkan jurubahasa isyarat yang mempunyai standard yang tinggi atau bertauliah.\nOleh itu, amat penting untuk kita semua menghormati OKU, terutamanya melalui medium atau media massa yang disampaikan. Penyampaiannya mestilah bersifat \u201cmesra\u201d OKU seperti tayangan video yang memerlukan suara latar supaya OKU dapat memahami video berkenaan. Begitu juga dengan infografik yang perlu bersifat \u201cramah\u201d OKU seperti menampilkan jurubahasa isyarat bagi setiap program OKU.\n\n\u201cKita digalakkan untuk mengajar bahasa isyarat kepada anak-anak sejak kecil lagi agar mereka tidak mendiskriminasikan golongan OKU dan dapat berinteraksi dengan mereka.\u201d\nDemikianlah antara penerangan yang diberikan oleh YB Senator Datuk Ras Adiba Radzi, selaku ahli Dewan Negara dan Presiden Persatuan OKU Sentral; Profesor Madya Dr. Hasnah Toran, iaitu pensyarah di Fakulti Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang pendidikan khas serta Dr. Aizan Sofia Amin, selaku moderator ketika membicarakan topik menyantuni OKU dalam Program Canai Bahasa dan Sastera, iaitu \u201cMenyantuni Orang Kurang Upaya melalui Bahasa\u201d menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada \u00a0pukul 2.30 petang tadi." "Program Bimbingan Penulisan Surat Rasmi dan Minit Mesyuarat serta Pemantauan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSik \u2212 Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dengan kerjasama Majlis Daerah Sik (MDS) menganjurkan program Bimbingan Penulisan Surat Rasmi dan Minit Mesyuarat untuk kakitangan MDS dan Pejabat Daerah dan Tanah Sik (PDTS) sebagai satu usaha memantapkan penulisan kedua-dua genre dokumen rasmi tersebut. Program ini bertujuan mempersegar penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan kakitangan MDS dan PDTS, yang secara langsung terlibat dalam penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu di tempat awam, yakni kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tersebut.\nSelain itu, pelaksanaan program Pemantauan Bahasa Melayu di sekitar kawasan pentadbiran PBT ini juga bertujuan membantu pihak PBT memperkemas penggunaan bahasa kebangsaan pada papan tanda premis perniagaan, taman perumahan, penamaan jalan dan bangunan serta papan iklan luar agar bersesuaian dengan daerah kelahiran sasterawan hebat dan guru yang dihormati, Sasterawan Negara Dato\u2019 Shahnon Ahmad.\nProgram bimbingan dan pemantauan di MDS ini menampilkan Munsyi Dewan (Bahasa), Encik Harum Awang, Guru Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah sebagai pembimbing dan pemantau. Kehadiran Encik Mohamad Shahmi Idris, Penolong Pegawai Daerah Sik (Pembangunan Masyarakat) dan Puan Siti Normaizura Mokhtar, Penyelaras Kursus Kakitangan MDS sebagai peserta memperlihatkan kesungguhan pihak pengurusan MDS dan PDTS dalam memartabatkan bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan negara ini agar dapat digunakan dengan baik dan betul dalam penulisan dokumen rasmi PBT.\nEncik Harum menegaskan bahawa dalam usaha memantapkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam dokumen rasmi dan pada papan tanda oleh PBT, Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) DBP yang merupakan pusat rujukan dan kamus secara dalam talian yang berada di hujung jari sahaja perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Beliau percaya, sekiranya semua PBT bersungguh-sungguh dalam perkara ini, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dapat dimartabatkan dan digunakan secara meluas, sementelah kuasa penguatkuasaan berada di bawah bidang kuasa PBT.\nProgram Bimbingan Penulisan Surat Rasmi dan Minit Mesyuarat ini diadakan selama sehari di Dewan Anggerik, Hotel Sik Inn, Sik, Kedah, dan disusuli dengan program Pemantauan Bahasa Melayu di sekitar daerah Sik pada sebelah petang." "Nilai Kebersamaan Keluarga Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSudah empat bulan kerajaan memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia, iaitu sejak pelancarannya pada 22 April 2022, di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya. Lebih awal daripada itu, konsep ini sudah sering kedengaran khususnya dalam pelbagai ucapan yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob. Namun begitu, perincian konsep ini pada ketika itu hanya berkisar tentang bagaimana kerajaan menghimpunkan kebersamaan rakyat di negara ini dalam satu ruang lingkup Keluarga Malaysia. Itulah juga fahaman awal yang turut bermain di minda penulis.\nTernyata sebaik-baik sahaja konsep ini dilancarkan, Keluarga Malaysia yang diperkenalkan membawa maksud yang lebih menyeluruh daripada apa-apa yang dibayangkan. Benar, konsep sebegini telah lama kita amalkan, namun Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri pada kali ini mempunyai keterangkuman yang diwakili oleh seluruh rakyat Malaysia.\nPada hakikatnya, konsep Keluarga Malaysia bersifat lebih inklusif dan merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum. Menurut Perdana Menteri, kita menyedari bahawa kewujudan sebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua. Maka itu, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana keutuhan negara yang terikat dengan nilai-nilai didikan yang sempurna dalam sebuah keluarga.\n\u201cKita ialah satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum. Konsep ini merangkumi kesemua lapisan usia, sama ada anak muda, mahupun yang telah berusia. Jelaslah bahawa konsep ini merupakan satu entiti yang saling melengkapi umpama anggota tubuh yang saling memerlukan,\u201d jelas Perdana Menteri.\nUntuk itu, terdapat tiga nilai utama yang mendasari konsep Keluarga Malaysia, iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran. Menurut Perdana Menteri, Keterangkuman bermaksud saling menghormati dan mengasihi sesama ahli keluarga menerusi pengayaan nilai yang telah digariskan, iaitu menyemai budaya integriti dalam keluarga; Menjadikan budaya amanah sebagai budaya keluarga; Menjadikan prinsip keadilan sebagai teras pengukuhan keluarga; Menjadikan amalan bermusyawarah sebagai amalan keluarga; Menyuburkan budaya komunikasi yang berhemah dalam kalangan keluarga dan masyarakat; dan membina akhlak mulia seluruh anggota keluarga.\nNilai kedua yang diangkat dalam konsep Keluarga Malaysia ialah Kebersamaan yang bermaksud bersatu padu dan prihatin. Menerusi ucapan sulung Perdana Menteri pada 22 Ogos 2021, beliau menyeru agar rakyat di negara ini sentiasa mencari titik persamaan dalam segenap perkara; memiliki fikiran yang terbuka dan senang untuk bekerjasama; bertoleransi terhadap sebarang perbezaan secara berprinsip; dan bersepakat dan bersatu dalam menghadapi cabaran. Nilai pengayaan yang turut digariskan termasuklah Kebertanggungjawaban terhadap keluarga; Membudayakan amalan ihsan dalam memupuk semangat kebersamaan keluarga; Memastikan suasana harmoni dapat dikecap keluarga; Menyemai budaya khidmat dalam keluarga bagi membantu ahli yang memerlukan bantuan; Menjaga kehormatan dan maruah keluarga; Menyemai semangat prihatin untuk membantu ahli keluarga; Menerapkan budaya kesabaran dalam mengekalkan keharmonian keluarga; dan menyemai semangat keamanan dan kesejahteraan dalam diri ahli keluarga.\nSementara itu, dalam nilai ketiga, iaitu Kesyukuran, nilai ini dikaitkan dengan nilai keharmonian dan kecintaan. Nilai ini membawa rakyat Malaysia untuk sentiasa bersyukur dan berterima kasih dan tidak lupa untuk menghargai dan memahami sejarah tanah air. Antara nilai pengkayaan yang terkandung dalam Kesyukuran termasuklah Beriman; Membudayakan amalan sihat fizikal dan mental; Mengekalkan tradisi dan adat kekeluargaan; Kasih sayang; dan hormat serta taat.\n\nDengan visi memulihkan negara dan mencapai status Malaysia sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi, matlamat konsep Keluarga Malaysia akan menjadi aspirasi jangka masa panjang yang kalis cabaran masa hadapan. Sementara itu, hala tuju strategik yang digariskan adalah untuk memastikan rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa untuk terus berganding bahu memulihkan negara daripada impak negatif akibat COVID-19. Maka itu, bidang tumpuan utama yang digariskan termasuklah Memulihkan dan merapatkan semula jurang ekonomi; Menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia di bawah naungan Keluarga Malaysia; dan Mengetepikan perbezaan politik untuk mencapai kestabilan.\nDalam ucapan Perasmian Keluarga Malaysia, Perdana Menteri menjelaskan bahawa aspirasi Keluarga Malaysia bermatlamat untuk memastikan ahli keluarga besar yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama dapat hidup dalam suasana yang mesra dan harmoni sambil berkongsi tiga nilai utama yang dibincangkan sebentar tadi.\n\u201cAmalan hidup bersama ini telah pun berterusan sejak enam dekad lalu dan perlu dikekalkan malah diperkukuh walau apa-apa pun cabaran yang mendatang. Sebagai kerajaan, sudah menjadi tanggungjawab kami sebagai pemimpin untuk sentiasa menyuburkan semangat perpaduan, menyuntik nafas segar dalam kesatuan, mencari titik persamaan dalam kepelbagaian,\u201d ucap Perdana Menteri.\nSelain itu, pada masa yang sama, pengupayaan Keluarga Malaysia perlu mengimbangi kepentingan spiritual dan rohani dengan pembangunan fizikal dan pengukuhan ekonomi. Sekiranya tumpuan hanya diberikan kepada pembangunan fizikal tanpa menekankan aspek spiritual, yang dibimbangkan akan wujud adalah kepincangan dalam usaha memperkukuh perpaduan negara.\n\u201cSebagai pembuat dasar, kerajaan perlu memainkan peranan yang bersungguh-sungguh dalam menyusun atur segala langkah bagi menterjemahkan konsep kesejahteraan agar dapat meresap ke dalam jiwa seluruh Keluarga Malaysia,\u201d jelas Perdana Menteri.\nTambahnya lagi, agama merupakan benteng pertahanan jiwa yang menjadi petunjuk dalam memelihara hubungan antara kaum. Oleh itu, beliau berpandangan perbezaan agama bukanlah suatu halangan untuk bersatu-padu. Malah, Islam sendiri mengangkat nilai kebersamaan dalam kepelbagaian rumpun, bangsa dan budaya. Oleh itu, Perdana Menteri berpandangan bahawa untuk menikmati kesejahteraan dalam sesebuah negara, satu mekanisme ampuh perlu dijadikan landasan.\n\u00a0\nSaya mendapati memelihara kemaslahatan merupakan manifestasi kesejahteraan. Hal ini dikatakan demikian kerana kemaslahatan itu sendiri merupakan inti pati dalam objektif syariat Islam yang sentiasa disebutkan sebagai pendekatan Maqasid Syariah. Dalam satu persidangan anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia pada September 2021, saya telah menyatakan bahawa Maqasid Syariah perlu dijadikan teras dalam setiap dasar pembentukan sesebuah negara yang adil, sejahtera dan harmoni. Pada hari ini pula, kita diperjelaskan tentang pendekatan Maqasid Syariah dalam tadbir urus Keluarga Malaysia.\nTernyata prinsip Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri pada April lalu menekankan banyak perkara yang universal yang dilihat amat sesuai untuk seluruh ahli Keluarga Malaysia yang mendambakan kesejahteraan dan keharmonian antara kaum dengan penganut pelbagai agama di negara ini. Pastinya hal ini tidak akan mengehadkan amalan dan kepercayaan agama yang lain, tetapi menuntut nilai kebersamaan dalam memelihara hubungan sesama kita." "\u201cKami Takut Dibunuh, Perang Musnahkan Kehidupan Kami\u201d \u2013 Pelarian di Yaman\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cKami bimbang dibunuh, oleh sebab itu kami melarikan diri meninggalkan rumah dan kampung halaman yang kami cintai di Bandar Sana\u2019a, Marib (Yaman). Tidak mungkin kami dapat pulang semula ke tempat kelahiran kami setelah tujuh tahun melarikan diri dan tinggal di Kem Pelarian Raudah ini,\u201d terang Ali Zain, 55 tahun.\nMantan imam Masjid Syurtoh di Sana\u2019a itu hanya mengalirkan air mata apabila mengenang akan untung nasib mereka setelah bergelar pelarian di bumi sendiri. \u00a0Ali dan isteri serta lapan orang anaknya tinggal di bawah khemah yang serba daif dan hanya mampu berdoa pada setiap hari semoga keamanan yang mereka impikan menjadi realiti suatu hari nanti di bumi Yaman.\nJika dahulu, kami boleh bergerak bebas untuk ke mana-mana sahaja, selain hilang sumber pendapatan, kami juga tidak pasti tentang masa hadapan kami khususnya anak-anak yang sedang membesar. Sebelum perang, saya boleh memandu kenderaan ke Marib yang mengambil masa hanya tiga jam sahaja, tetapi setelah pekan, iaitu Bandar Ma\u2019in di Sana\u2019a diserang, kami terpaksa memandu kereta yang mengambil masa hingga 17 jam bagi menyelamatkan diri untuk sampai ke kem pelarian ini bagi memulakan hidup yang baharu.\nCerita sedih itulah yang dikongsikan oleh Ali kepada Presiden Muslim Care Malaysia (Muslim Care), Haji Zulkifli Wahijan ketika beliau dan tujuh orang sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) tersebut datang menyampaikan pek makanan di Kem Pelarian Raudah, Marib, pada 8 Ogos 2022. Dalam lawatan tersebut, Musllim Care mengedarkan 200 pek makanan yang mengandungi beras, minyak masak, pes tomato, tepung dan makanan dalam tin.\nKisah duka Ali itu hampir sama dengan jutaan pelarian lain yang ditempatkan di beberapa kem pelarian di Marib dan beberapa lagi lokasi penempatan pelarian di Yaman. Keadaan kem yang daif; tidak mempunyai bekalan air bersih yang sistematik; dan kekurangan bekalan makanan menyumbang kes malnutrisi atau kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak di Yaman sangat membimbangkan.\nSelain berhadapan dengan cuaca panas yang ekstrem, iaitu mencecah 45 darjah Celsius, mereka juga diancam pelbagai kemungkinan penyakit kerana kesedaran aspek penjagaan diri yang rendah. Atas kesedaran tersebut, Muslim Care Malaysia mengambil inisiatif menjayakan Misi Kemanusiaan di Yaman bermula pada 1 Ogos lalu dan dijangka berakhir 16 Ogos ini.\nMenurut Presiden Muslim Care, Haji Zulkifli Wahijan, fokus bantuan kali ini adalah untuk mengumpul data dan mengenal pasti isu malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak pelarian di negara tersebut yang mula terlibat dalam kancah peperangan sejak tahun 2012.\n\u201cKami mendapati kanak-kanak pelarian di sini menghadapi isu malnutrisi yang serius, ada bayi yang kami temukan tidak mendapat zat pemakanan yang sewajarnya untuk seorang bayi terus membesar dengan normal. Tidak banyak NGO yang memberikan penekanan isu malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak dan bayi di kem pelarian di Yaman ini. Begitu juga bantuan kemanusiaan di negara ini yang seolah-olah dipandang sepi oleh NGO antarabangsa berbanding dengan bantuan kemanusiaan yang dihulurkan di negara lain yang dilanda konflik seperti di Palestin, Syria, Myanmar dan beberapa buah negara di benua Afrika. Justeru saya berharap, rakyat Malaysia dapat menghulurkan derma dan bantuan lain ke Yaman melalui tabung atau dana kemanusiaan yang dianjurkan oleh kami,\u201d ulas Hj. Zulkifli.\nBekalan Makanan Terputus\nSementara itu, tinjauan penulis dan pihak Muslim Care di beberapa buah kem pelarian di Seiyun dan Marib mendapati banyak pelarian yang kehabisan bekalan makanan dan kekurangan bahan penjagaan diri. Antara yang terkesan termasuklah seorang kanak-kanak lelaki, Sufian Salleh, 13 tahun.\nKami sering keputusan bekalan makanan. Di kem pelarian ini, kami tidak punya banyak pilihan selain perlu berjimat cermat dengan bekalan bahan makanan seperti tepung, minyak masak beras.\nKanak-kanak malang ini yang mempunyai sembilan orang adik beradik terpaksa berlindung di Kem Pelarian Raudah di Bandar Marib setelah rumah di bandar mereka tinggal, iaitu \u00a0di Sana\u2019a musnah akibat terlibat dalam peperangan. Sufian merupakan seorang daripada penerima bantuan pek makanan yang mengandungi beras, minyak masak, pes tomato, tepung dan makanan dalam tin yang di berikan oleh Muslim Care Malaysia (Muslim Care).\nCerita Sufian juga hampir sama dengan ribuan kanak-kanak pelarian lain yang ditempatkan di beberapa buah kem pelarian di Marib dan beberapa buah lagi lokasi penempatan pelarian di Yaman. Keadaan kem yang daif, tidak mempunyai bekalan air bersih yang sistematik, kekurangan bekalan makanan menyumbang kes malnutrisi atau kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak di Yaman sangat membimbangkan. Selain berhadapan dengan cuaca panas yang ekstrem, mereka juga diancam pelbagai kemungkinan penyakit kerana kesedaran aspek penjagaan diri yang rendah.\nMenjejak bumi Yaman, penulis hanya mampu berdoa agar setiap pelarian yang menumpang berteduh di kem pelarian untuk terus cekal dan tabah dalam menghadapi setiap dugaan yang mendatang. Bilakah konflik ini akan berakhir? Tiada siapa yang mampu memberikan jawapannya." "Buku Kesarjanaan di Lembah Pantai Dilancarkan Hari Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Buku Kesarjanaan di Lembah Pantai: Biografi Profesor Melayu Universiti Malaya Jilid 1 hasil karya Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu, Universiti Malaya telah dirasmikan oleh Profesor Dr. Yatimah Alias, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Malaya di Akademi Pengajian Melayu, Univesiti Malaya pagi ini.\nHampir 100 orang tetamu hadir ketika majlis pelancaran buku pada pagi ini. Antara tetamu yang hadir termasuklah ahli akademik dan pelajar Universiti Malaya.\nBuku Kesarjanaan di Lembah Pantai ini disusun untuk merangkum catatan-catatan kehidupan akademik para profesor demi memulihara akar yang kuat dan menjadi ciri khas budaya akademik di kampus tertua di tanah air ini. Sebagai menghormati peranan mereka dalam proses pembangunan Univesiti Malaya, maka timbul cadangan supaya dihasilkan buku yang mengandungi biodata golongan ini dan barisan profesor yang menyusuli mereka selepas itu.\nDalam majlis pelancaran buku yang berlangsung hampir dua jam, Profesor Dr. Yatimah Alias menyokong kuat dan menghargai usaha penghasilan buku ini. Impak buku ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kompetensi bagi universiti-universiti lain untuk mencontohi legasi keilmuan Universiti Malaya.\nMenurut Pengarah Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu, Profesor Dr. Hashim Ismail, usaha untuk menghasilkan buku ini adalah hasil daripada cadangan mantan profesor Universiti Malaya.\n\u201cAda cadangan supaya penerbitan biografi ahli-ahli akademik Melayu khususnya profesor-profesor yang cemerlang dikumpulkan dalam satu buku,\u201d jelas Profesor Dr. Hashim Ismail. Menurut beliau, profesor-profesor Melayu yang telah berkhidmat di Universiti Malaya ini telah banyak memberikan sumbangan kepada pembangunan universiti secara khusus dan pembangunan masyarakat serta negara secara umunya.\nDaripada kalangan ini, yang terulung ialah Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz, iaitu Naib Canselor Melayu pertama yang amat dihormati dan berkaliber. Ketokohan beliau sungguh dikagumi bukan sahaja di dalam negara bahkan di luar negara.\nMenurut seorang daripada mantan profesor, iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Haji Abdul Karim yang juga merupakan pakar bahasa dan Ketua Editor buku jilid pertama berkata bahawa semua mantan profesor secara sukarela telah terlibat dalam menghasilkan buku ini.\n\u201cKita fokuskan buku jilid pertama dengan melibatkan profesor Melayu diikuti oleh profesor bukan Melayu bagi buku jilid seterusnya kerana sumbangan mereka juga besar,\u201d jelas beliau. Beliau turut menambah bahawa inilah masanya untuk membawa nama tokoh-tokoh akademik dari Universiti Malaya ke peringkat nasional.\nSemua biografi profesor yang berjaya dikumpulkan sehingga penghujung 2019 dimuatkan dalam jilid pertama buku ini. Usaha penerbitan buku ini bagi jilid-jilid seterusnya akan diteruskan dari semasa ke semasa. Program ini merupakan satu inisiatif terbaik untuk mewujudkan peluang bagi melahirkan cendekiawan dan ahli akademik bagi generasi yang akan datang." "Pembentukan Graduan Holistik Pemacu Sosioekonomi Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nInstitusi pengajian tinggi memainkan peranan yang sangat penting dalam menghasilkan tenaga kerja berkelulusan tinggi untuk negara. Tenaga kerja ini mempunyai latar belakang pengetahuan yang berbeza berdasarkan kepada bidang pengajian yang telah diikuti di sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT). Bidang pengajian yang ditawarkan dan diikuti sudah semestinya berteraskan keperluan pengisian tenaga kerja, seiring dengan perancangan masa hadapan untuk menggerakkan pembangunan dan kemajuan negara. Oleh itu, lahirlah jentera pelaksana pembangunan dan kemajuan negara yang terdiri daripada graduan lepasan IPT. Graduan lepasan IPT yang dihasilkan pada setiap tahun akan menjadi pelapis kepada tenaga kerja senior yang akan dan yang sudah bersara. Maka, terjadilah satu pusingan penghasilan tenaga kerja negara yang seharusnya berterusan selagi adanya IPT, staf dan sistem sokongan pentadbiran dan pengurusan yang mantap serta ahli akademik yang dedikasi dan berkaliber.\nAhli akademik di sesebuah IPT dengan berbagai-bagai bidang kepakaran yang berkepentingan untuk memaju dan membangunkan negara memainkan peranan yang sangat signifikan dalam menghasilkan tenaga kerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mencorakkan masa depan negara. Sehubungan dengan itu, ahli akademik merupakan tenaga kerja berkepakaran penting yang menyumbang kepada penghasilan tenaga kerja untuk negara yang terdiri daripada graduan lepasan IPT. Oleh itu, pengambilan dan kecukupan staf akademik di sesebuah IPT perlu dirancang dengan teliti supaya kelompangan kepakaran tidak berlaku sehingga menjejaskan pengajaran dan pembelajaran kursus-kursus yang ditawarkan dalam sesuatu kurikulum bidang pengajian, serta kualiti pelajar yang akan dihasilkan yang merupakan tenaga kerja masa depan negara.\nPengambilan staf akademik pelapis dalam bidang berkaitan yang akan kehilangan pakar kerana persaraan sebaik-baiknya dimulakan tujuh atau lapan tahun sebelum seseorang ahli akademik dalam bidang kepakaran penting tersebut bersara. Sebaik-baiksahaja ahli akademik pelapis tamat pengajian Sarjana Muda dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), ahli akademik senior masih\u00a0 mempunyai tempoh dua atau tiga tahun lagi dalam perkhidmatan sebelum bersara untuk membantu melatih dan mendidik ahli akademik junior dalam bidang kepakaran yang berkaitan. Hasrat ini boleh dijalankan melalui program bimbingan atau mentor antara senior yang berpengalaman dengan junior yang baharu sahaja menceburi perjalanan karier sebagai ahli akademik. \nKarier sebagai ahli akademik agak mencabar. Ahli akademik bukan hanya berperanan dalam aspek pengajaran dan pembelajaran sahaja, tetapi juga dalam penyelidikan, inovasi dan perundingan serta menyumbang kepada perkhidmatan kepakaran, makmal diagnosis dan penganalisisan serta program kesejahteraan masyarakat. Tidak kurang juga, terdapat ahli akademik yang memegang jawatan pentadbiran dan pengurusan di IPT.\nDengan perancangan pengambilan staf akademik yang strategik serta program bimbingan yang teratur, pembentukan ahli akademik yang berkualiti akan mempengaruhi kualiti graduan yang akan dihasilkan nanti. Imej sesebuah IPT akan terus dijulang kerana kualiti graduan yang dihasilkan mencerminkan tenaga pengajar dan sistem kerja yang saling bersinergi dan menyokong serta mencurahkan jasa bakti tanpa batasan.\nSetiap IPT sudah tentunya berwawasan dalam melahirkan graduan yang berkualiti. Perkara yang dimaksudkan dengan graduan berkualiti ialah graduan yang holistik atau serba boleh. Seseorang pelajar mungkin boleh mendapat markah yang baik dalam sesuatu kursus tetapi tidak mampu atau kaku untuk berbicara, berhujah atau menulis dengan berkesan dan teratur, \u00a0apatah lagi berfikiran kritikal dalam sesuatu aspek pengajian yang sedang dibincangkan. Seseorang pelajar IPT perlu memaparkan ciri-ciri kemahasiswaan yang sesuai dengan keberadaannya di menara gading dan bukannya seperti pada zaman persekolahan dahulu dengan pendidikan dan suasana pembelajaran yang asas. Kematangan berfikir diasah dan dilenturkan agar dapat mencerminkan peranan IPT melalui kesungguhan ahli akademiknya dalam membentuk tenaga kerja berintelek dan berwawasan.\nWawasan ini adalah selari dengan aspirasi falsafah pendidikan negara yang perlu didukung dan diamalkan oleh setiap ahli akademik. Dengan berpegang teguh pada amalan ini, niat untuk menghasilkan tenaga kerja serba boleh untuk memacu pembangunan dan kemajuan negara pasti akan tercapai. Perkara ini merupakan niat yang sangat murni bagi seseorang ahli akademik. Sehubungan dengan itu, peranan ahli akademik dalam membentuk graduan yang hanya berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang pengajian yang diikuti oleh pelajarnya, bukan sebenar-benarnya hasrat murni dalam karier akademik sekiranya falsafah pendidikan negara menjadi pegangan longgar oleh seseorang ahli akademik.\nOleh sebab perjalanan karier setiap ahli akademik agak berbeza di menara gading, umpamanya fokus yang lebih dalam bidang penyelidikan, peranan membentuk graduan serba boleh ini mungkin boleh disempurnakan oleh ahli akademik tertentu. Senario kerja ini membantu melengkapkan peranan IPT dalam menyahut kepentingan penghasilan pelajar beracuankan falsafah pendidikan negara ini secara terancang, dengan semangat berpasukan memenuhi visi dan misi sesebuah IPT secara bersama dengan tumpuan peranan oleh setiap seorang ahli akademik.\nPeranan menghasilkan graduan yang holistik merupakan tanggungjawab Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang mengorganisasikan aktiviti ko-kurikulum pada peringkat IPT. Ahli akademik tertentu juga berperanan sebagai pengetua dan felo kolej kediaman pelajar di bawah HEP. Keadaan ini lebih sinonim dengan IPT yang mempunyai kolej kediaman atau asrama bagi pelajar tinggal semasa dalam pengajian. Pengetua dan felo membantu IPT dengan meluangkan masa serta curahan tenaga dan keringat, selain urusan penyampaian bersifat akademik di fakulti, dan seterusnya menyumbang kepada pembentukan graduan holistik yang berkualiti.\nDi kolej kediaman pelajar, aktiviti ko-kurikulum seperti kebudayaan dan kesenian, sukan, kepemimpinan, kerohanian dengan penerapan adab dan kesopanan, pemerkasaan peribadi, pertandingan pidato, penerapan semangat patriotisme kemerdekaan dan khidmat masyarakat menjurus kepada hasrat pembentukan graduan serba boleh. Ahli akademik yang meluangkan masa sebagai pengetua dan felo yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi merupakan insan yang istimewa kerana membantu negara menghasilkan tenaga kerja yang serba boleh dan berwibawa. Pertandingan bakat seperti pidato menggalakkan semangat berpasukan untuk meraih kemenangan secara sihat dan profesional. Pertandingan seperti ini mampu mencungkil bakat untuk pertandingan seterusnya pada peringkat antara IPT. Oleh sebab sifat yang mulia merupakan tunjang kepada kejayaan graduan dalam karier mereka sebagai tenaga kerja negara, pembangunan insan di IPT juga perlu diambil serius dengan mengambil kira pembentukan sikap yang terpuji dan disegani. Ilmu yang tinggi tanpa sikap baik yang disebatikan dalam jiwa bukan paparan sebenar insan yang berpelajaran tinggi tetapi kepincangan pembentukan peribadi akibat asuhan dan penerapan nilai tambah peribadi yang tersasar. Hal ini akan berlaku sekiranya keegoan dan keangkuhan menguasai diri yang melepasi kesedaran bahawa sikap yang terpuji itu merupakan asas utama kepada apa-apa penceburan ke arah kejayaan hidup bagi graduan yang akan menjadi tenaga kerja penting negara.\nKehidupan di kolej kediaman dengan aktiviti membina diri mewarnai perjalanan hidup pelajar mempersiapkan diri menjadi tenaga kerja yang berupaya dan berdaya saing untuk negara. Aktiviti ko-kurikulum memberi peluang dan ruang kepada pelajar meneroka keupayaan diri sendiri dan menyerlahkan bakat yang terpendam melalui penglibatan secara terancang, di samping kesibukan mengejar impian bergelar graduan berpelajaran tinggi dengan kelulusan akademik. Suasana keilmuan di kampus yang diterapkan dengan nilai kehidupan sebegini sebenarnya meletakkan kolej kediaman pelajar bukan sebagai tempat menginap semata-mata, malah sebagai satu entiti yang unik, aktif dan berterusan membantu pembentukan graduan serba boleh. Selain kolej kediaman, entiti akademik juga boleh menjalankan aktiviti ko-kurikulum. Aktiviti pada peringkat fakulti pada kebiasaannya dijalankan oleh persatuan pelajar yang berkaitan dengan program pengajian pelajar. Sebagai contoh, aktiviti tersebut dijalankan oleh Persatuan Pelajar Veterinar di Fakulti Perubatan Veterinar dengan penasihat persatuan yang terdiri daripada ahli akademik.\nGraduan yang serba boleh sebegini merupakan bakal pemimpin pelapis negara yang boleh mencorakkan kemajuan sosioekonomi dengan ilmu kepemimpinan yang telah diterapkan melalui aktiviti ko-kurikulum selain ilmu akademik. Negara memerlukan pemimpin yang bijaksana, berkarisma, dinamik dengan ilmu akademik dan pembangunan insan yang telah diterapkan dan disebatikan bersama, yang berupaya menaikkan taraf hidup rakyat dan kemakmuran sosioekonomi negara serta menjadikan warga dan negara Malaysia disegani di dunia.\nSehubungan dengan itu, setiap IPT dengan strategi masing-masing perlu terus mendukung pelaksanaan falsafah pendidikan negara ke arah pembentukan graduan holistik. Jasa bakti ahli akademik yang terus menyahut seruan ini merupakan sebuah pengorbanan sejati untuk negara. Apabila keutamaan negara menjadi asas kepada karier seseorang ahli akademik, golongan ilmuwan ini telah memaparkan sikap patriotisme pendidikan yang boleh disanjung tinggi dan terpuji untuk kepentingan negara Malaysia yang dicintai.\nDr. Jasni Sabri, Alumni Staf Akademik, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Malaysia Kelantan." "Forum Remaja Tingkatkan Pembakuan Bahasa Melayu, Beri Peluang Pelajar Berkarya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Menelusuri agenda besar negara, bahasa kebangsaan wajar dipupuk oleh rakyat Malaysia bagi membina tamadun dan jati diri bangsa.\nTidak kurang pentingnya, peranan institusi pendidikan juga perlu berupaya mendekati generasi muda melalui aktiviti yang menyokong pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.\nDewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama-sama rakan sinerginya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menganjurkan Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2022 bersempena Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2022 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP pada pagi ini.\nPenganjuran Forum Remaja ini bukan sahaja menggalakkan penggunaan dan pembakuan bahasa Melayu yang baik dalam kalangan pelajar, bahkan merupakan sebuah program yang dapat mempertingkatkan keyakinan dan kreativiti pelajar berkarya dalam pelbagai platform seperti digital, serta mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi.\nDemikianlah ucapan Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2022 yang disempurnakan oleh YBhg. Dato\u2019 Haji Pkharuddin Haji Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), selepas tayangan sedutan video pertandingan.\nYBhg. Dato\u2019 Haji Pkharuddin Haji Ghazali berkata, forum ini bersesuaian dengan matlamat pendidikan yang mendukung Falsafah Pendidikan, yakni melahirkan pelajar yang seimbang secara holistiknya dari segi jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek.\nSetiap anak mempunyai potensinya yang tersendiri, ibarat sebutir benih. Apabila digilap, diasuh oleh guru dan dididik oleh ibu bapa, pastinya anak-anak ini akan terus maju.\n\u201cKita mesti memulakan satu kaedah kepimpinan baharu yang memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada anak-anak kita.\nYBhg. Dato\u2019 Haji Pkharuddin Haji Ghazali mengakui bahawa sistem pendidikan negara perlu melengkapkan setiap pelajar dengan segala kemahiran baharu yang diperlukan untuk merebut peluang dalam menangani cabaran teknologi pendigitalan.\nSementara itu, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP mengatakan bahawa DBP mendukung aspirasi KPM dalam mencapai konsep Sekolahku SEJAHTERA, misalnya Pertandingan Forum Remaja ini jelas dilihat dapat melahirkan modal insan yang petah bercakap, bercakap secara rasional, terampil serta mempunyai usaha untuk eksplorasi.\nAntara perkara yang paling asas ialah artikulasi. Kita mahukan anak-anak yang menyertai pertandingan ini dapat mengemukakan idea yang baik dan menyampaikan idea tersebut secara berkesan.\n\u201cSaya percaya era kegemilangan pendidikan kita dapat dicapai dalam waktu terdekat dengan usaha bersungguh-sungguh daripada semua pihak kementerian, khususnya KPM,\u201d kata beliau dalam majlis ini yang turut berlangsung secara dalam talian menerusi Facebook DBP dan RadioDBP.\nUjar Ketua Pengarah DBP, beliau percaya bahawa program sebegini dapat melahirkan pelajar yang bukan sahaja pandai dari segi intelektual, malah berkemahiran dalam menghujahkan pendapat secara baik, rasional dan matang, serta mengaplikasikan ilmu pengetahuan yang diperoleh apabila berinteraksi dengan pihak lain.\nMengulas lebih lanjut, YBhg. Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera selaku Ketua Juri Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2022 berkata,\nPada dasarnya, Pertandingan Forum Remaja diadakan adalah untuk mempertingkatkan penggunaan bahasa baku dalam kalangan pelajar.\nSehubungan dengan itu, terdapat beberapa kriteria dalam pertandingan forum ini. Antaranya termasuklah, pelajar harus memahami format atau struktur forum tersebut; persembahan yang semula jadi meskipun hujah tersebut dihafal, serta memastikan rujukan maklumat yang dilontarkan adalah sahih dan terkini.\nJuara bagi Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2022 pada kali telah dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Tawau, Sabah, manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Muhammad, Melaka dimenangi tempat kedua, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Putrajaya, tempat ketiga dan Kolej GENIUS Insan, Nilai, Negeri Sembilan tempat keempat.\nSelain itu, pemenang bagi kategori Ahli Forum Terbaik ialah Nurul Athirah Fatawari dan Pengerusi Forum Terbaik dimenangi oleh Fatin Hamimi Zulkifli, iaitu kedua-duanya dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tawau, Sabah.\nDalam perkembangan yang sama, majlis penyampaian hadiah turut disampaikan oleh YBhg. Dato\u2019 Haji Pkharuddin Haji Ghazali kepada pemenang bagi 10 kategori pertandingan, seperti Pertandingan Bercerita \u201cSekolahku Sejahtera\u201d Tahap 1; Pertandingan Bercerita \u201cSekolahku Sejahtera\u201d Tahap 2; Pertandingan Animasi Rara Riri Eksperimen Sains; Pertandingan Melukis Komik; Kuiz Sains dan Teknologi; Pertandingan Mencipta dan Mendeklamasikan Sajak Sains; Pertandingan Menulis Cerita Digital \u201cKeluarga Malaysia\u201d; Pertandingan Wartawan Cilik; Pertandingan Tiktok Tazkirah Tahap 1; Pertandingan Tiktok Tazkirah Tahap 2; dan Pertandingan Tiktok Pantun.\nTurut hadir bersama-sama ialah YBrs. Puan Rafea\u2019ah Haji Nahar, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan) KEMAS." "Gaya Hidup Sihat Fasa Endemik COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPakar kesihatan berpandangan bahawa rakyat Malaysia dilihat sudah bersedia memasuki fasa peralihan endemik dengan pendedahan maklumat yang begitu meluas berhubung dengan COVID-19 sejak wabak itu melanda negara ini. Dikatakan jumlah vaksinasi lengkap dan dos penggalak serta vaksinasi kanak-kanak yang kini giat dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mampu mengawal wabak apabila memasuki fasa peralihan endemik. Secara tidak langsung, kerajaan juga telah \u00a0memperkasakan masyarakat dengan pengetahuan tentang wabak COVID-19. Maka itu, rakyat seharusnya mempunyai kesedaran serta membuat keputusan yang terbaik dalam melindungi diri daripada mendapat jangkitan.\nMeskipun negara kini berada dalam fasa endemik, namun hakikat yang harus kita terima ialah virus ini belum berpenghujung. Hingga makalah ini ditulis (9 Ogos 2022), negara mencatatkan 3083 kes baharu di seluruh negara dengan Selangor terus menjadi negeri penyumbang tertinggi kes. Sehubungan itu, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus giat mengingatkan agar rakyat di negara ini agar patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.\nSecara dasarnya, peralihan fasa pandemik kepada endemik dikatakan sebahagian daripada proses yang linear, yang mana banyak jangkitan penyakit lain terdapat pada manusia dan perkembangannya adalah secara semula jadi dan berlaku di seluruh negara.\nTidak dinafikan bahawa, masih ada segelintir rakyat di negara ini masih \u00a0menganggap bahawa kehidupan manusia sudah kembali normal, walaupun hal tersebut masih tidak berlaku. Masih terdapat perbezaan individu yang lebih berusia dengan individu yang lebih muda dalam menangani kesan jangka sederhana dan panjang terhadap virus tersebut. Walaupun vaksin dilihat sebagai cara terbaik untuk individu melindungi diri, tetapi hal ini tidak boleh dianggap sebagai satu-satunya garis pertahanan, kerana virus COVID-19 ini senantiasa bermutasi.\nDalam menghadapi kesan jangka panjang COVID-19, kerajaan turut \u00a0melancarkan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang merupakan tindakan yang diambil bagi mempersiapkan Keluarga Malaysia dalam mengharungi fasa endemik COVID-19. Agenda ini juga bertujuan untuk membudayakan hidup sihat dan membina kelestarian persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan rakyat, di samping berusaha menjadikan Keluarga Malaysia sihat sejahtera sepanjang hayat.\nDalam pada itu, kerajaan turut mengambil pendekatan seluruh negara dengan menjalin kerjasama yang erat dengan semua pihak untuk bergerak sebagai rakan strategik. Oleh hal yang demikian, kerajaan bertanggungjawab merangka hala tuju, strategi dan initiatif ANMS, manakala pihak swasta dan badan bukan kerajaan menjadi penggerak kepada strategi serta usaha yang telah dirangka atau inisiatif yang diperkenalkan.\nSelain itu, ANMS turut memberikan penekanan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) terutamanya dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan. Antara strategi yang digunakan dalam RMK12 berkaitan kesejahteraan kesihatan termasuklah meningkatkan literasi kesihatan serta kesedaran mengenai kesihatan dalam kalangan rakyat. Kini, kerajaan sedang membentuk Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan yang akan melaksanakan beberapa inisiatif termasuk penganjuran program kesedaran penjagaan kesihatan yang akan dipergiat melalui pelbagai platform, pada semua peringkat dengan memanfaatkan fasiliti di bawah pelbagai agensi. Sepertimana yang dapat dilihat, menerusi usaha yang bakal dijalankan ini, Keluarga Malaysia bukan sahaja dapat membudayakan hidup sihat, mengurangkan risiko penyakit serta mengurangkan kos rawatan dan pemulihan, malah dapat menjalani hidup yang lebih berkualiti semasa di fasa endemik, mahupun selepas berakhirnya wabak ini.\nSecara umumnya, cabaran yang bertali arus dari wabak COVID-19 ini menjadi asas kukuh kepada pembentukan kekuatan diri yang mantap, tahan diuji dan tabah menempuh arus perubahan. Tuntasnya, setiap individu perlu mengambil iktibar dan pengajaran daripada apa-apa yang berlaku sejak wabak ini mula melanda hingga kini. Yang paling penting semua pihak perlu berusaha menghayati serta memastikan setiap aspek, seperti emosi, pemikiran, tindakan dan spiritual serta cara hidup rakyat \u00a0berada dalam keadaan yang baik.\nPenulis ialah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, dan Felo Penyelidik Komunikasi Kesihatan, di Pusat HEALTHCOMM C4D UKM x UNICEF." "UiTM Cawangan Perlis Semarakkan Bulan Kemerdekaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerlis \u2013 Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan 2022, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, pada hari ini mengambil inisiatif untuk menganjurkan program Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang bagi meningkatkan penghayatan nilai-nilai murni dan semangat cinta akan negara dalam kalangan warga kampusnya.\nMenurut Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBhg. Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, penganjuran program tersebut akan dapat membantu warga kampus untuk memahami keperluan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati, aman, damai dan terus gemilang.\nUntuk tujuan tersebut, beberapa program telah diatur hingga September 2022 yang bertujuan untuk menyemarakkan bulan kebangsaan. Antara program yang telah diatur termasuklah HEA Open Ride, deklamasi sajak, Jelajah Kemerdekaan, Komander Kesatria Endurance Challenge Siri 10, Hari Refleksi Kemerdekaan Malaysia, serta Pertandingan Sudut Kemerdekaan. Lebih membanggakan, UiTM akan turut mengadakan majlis penutupan dan penyampaian hadiah yang akan diangkat sebagai acara kemuncak pada 15 September 2022.\nSebagai sebuah organisasi, warga kampus diibaratkan sebagai sebuah keluarga. Kepelbagaian latar belakang menjadi asas kekuatan UiTM Cawangan Perlis. Maka itu, kerjasama serta hubungan positif sesama warga kampus pada semua peringkat juga diyakini akan dapat menyuntik semangat untuk terus maju ke hadapan selaras dengan pengertian semangat Keluarga Malaysia Teguh Bersama.\nTidak ketinggalan, dalam ucapan perasmiannya, YBhg. Prof. Madya Ts. Dr. Shukor juga menyeru warga kampus untuk bersama-sama menyertai program yang telah diatur bagi menghidupkan roh dan jiwa merdeka serta merapatkan jalinan keluarga UiTM Cawangan Perlis.\n\n \nDalam majlis yang sama, turut berlangsung penyerahan bendera Jalur Gemilang kepada 10 kontinjen perbarisan dari setiap bahagian dan unit di UiTM Cawangan Perlis. Penyerahan Jalur Gemilang tersebut merupakan simbolik bagi menyemarakkan semangat jati diri bangsa, khususnya dalam kalangan warga kampus. Kemeriahan program tersebut diakhiri dengan nyanyian lagu Jalur Gemilang." "Keputusan Peperiksaan STPM Tahun 2021 Diumumkan pada 18 Ogos\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) memaklumkan bahawa keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun 2021 akan dikeluarkan pada 18 Ogos 2022 (Khamis).\nCalon sekolah boleh mendapatkan slip keputusan peperiksaan STPM di sekolah masing-masing mulai pukul 12.00 tengah hari pada 18 Ogos 2022 (Khamis).\nDi samping itu, calon sekolah dan calon persendirian boleh membuat semakan keputusan STPM 2021 melalui kaedah berikut:\n(i) melalui sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan ringkasan keputusan STPM 2021 dengan menaip STPMNo.K/PAngkaGiliran dan hantar ke 15888. Sistem ini akan diaktifkan mulai pukul 11.00 pagi pada 18 Ogos 2022 (Khamis) hingga pukul 12.00 tengah hari pada 28 Ogos 2022 (Ahad); dan/atau\n(ii)\u00a0 \u00a0 secara dalam talian untuk mendapatkan slip keputusan penuh STPM 2021 di pautan http://stpm.mpm.edu.my/stpmK mulai pukul 12.00 tengah hari pada 18 Ogos 2022 (Khamis).\nMPM sentiasa komited untuk terus melaksanakan yang terbaik." "Peluang Pekerjaan dalam Sektor Pertanian Terbuka Luas buat Lepasan TVET\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSerdang \u2013 \u201cPara pelajar harus berani dan bersifat daya saing serta sanggup menyahut segala cabaran dalam melibatkan diri dalam sektor pertanian dan keusahawanan\u201c, ujar YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan dalam program \u2018Wacana Dr. Radzi Jidin: Eksplorasi Dunia Pertanian\u2019 bersempena dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang petang semalam.\nSektor pertanian memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan bekalan makanan di dalam negara. Krisis sekuriti makanan yang melanda dunia ketika ini membuktikan bahawa sektor tersebut perlu diutamakan dan dieksplorasi dengan lebih jauh bagi menyediakan bekalan makanan yang terjamin dan mencukupi.\nDalam menghadapi cabaran tersebut, pelajar aliran Teknik dan Vokasional, khususnya dalam bidang pertanian dan keusahawanan merupakan watak utama pada masa hadapan yang berupaya membangunkan sektor tersebut sebagaimana yang dihasratkan oleh kerajaan. Keterlibatan aktif mereka mampu membawa negara dalam landasan yang betul bagi memastikan sektor pertanian negara sama unggul dan hebat dengan negara maju yang lain.\nPeluang dalam sektor pertanian sangat besar untuk para pelajar yang menjurus kepada bidang ini. Pendekatan dan kaedah teknologi baharu dalam pertanian perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Kaedah yang konvensional perlu ditukar ke arah yang lebih terkini dan bersifat semasa. Selain itu, pelajar juga harus didedahkan dengan teknologi terkini dalam pertanian moden bagi menyediakan mereka menceburkan diri dalam sektor pertanian dan keusahawanan selepas tamat pembelajaran dan seterusnya menawarkan produk pertanian yang bernilai tinggi.\nSelain itu, beliau juga turut menyentuh tentang peluang pekerjaan dalam sektor tersebut. Banyak pihak beranggapan bahawa bidang tersebut tidak membawa pulangan dan pendapatan yang tinggi selain kurangnya peluang pekerjaan. Namun begitu, perkara yang lebih penting ialah daya usaha dan pemerhatian terhadap perkembangan teknologi pertanian yang akan membuatkan seseorang itu berjaya dalam sektor tersebut.\nPeluang pekerjaan akan selalu ada dalam sektor ini.\u00a0 Para pelajar harus sentiasa berusaha ke arah yang lebih baik serta harus memahami apa-apa ruang dan peluang yang terdapat dalam sektor ini. Hal ini disebabkan sektor ini akan memberikan sumbangan yang besar buat negara pada masa hadapan.\nBeliau juga turut menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia sedia menyediakan pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan dengan sektor ini. Di peringkat sekolah, pelajar perlu didedahkan dengan bantuan dari segi modal dan kemudahan yang disediakan oleh agensi tertentu seperti agensi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Amanah Ikhtiar Malaysia dan sebagainya.\nTurut hadir dalam program tersebut ialah Dr. Norisah Suhaili, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) dan Puan Hajah Zanariah Haji Ahmad, Ketua Jabatan Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknik Vokasional." "Dewan Perwakilan Daerah Republik Indonesia (DPD RI) Teroka Kerjasama dalam Pelbagai Bidang dengan DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Malaysia dan Indonesia merupakan negara serumpun yang memiliki banyak persamaan daripada aspek bahasa dan kebudayaan. Persamaan yang wujud ini membolehkan kedua-dua negara menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang demi kemakmuran dan kemajuan bersama. Segala bentuk kerjasama, aktiviti dan tindakan yang dilakukan bukan sahaja akan lebih mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara, bahkan boleh menjadi contoh dan teladan kepada negara lain.\nAtas dasar semangat persaudaraan dan muhibah tersebut, Dewan Perwakilan Daerah Republik Indonesia (DPD RI) telah berkunjung ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada pagi tadi. Kunjungan hormat ini diadakan bagi membina potensi kerjasama yang boleh dilakukan dalam bidang bahasa, kesusasteraan dan persuratan Melayu. Sebanyak 10 orang delegasi DPD RI hadir ke DBP yang diketuai oleh Dr. Richard Hamonangan Pasaribu yang merupakan Timbalan Ketua Pengarah BSKP DPD. Antara anggota BKSP DPD RI lain yang turut hadir ialah Evi Epita Maya, Erlinawati, H. Nanang Sulaiman, Ir Abraham Liyanto, Lily Amelia Salurapa, M. Ikhsan Dedy Hasibuan, Dian Ayu Fitria, Rido Illahi Siregar dan Berhan Akta.\nDalam sesi kunjungan hormat tersebut, pihak pengurusan tertinggi DBP diketuai oleh Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP saling bertukar pandangan dan berkongi pengalaman tentang pelbagai perkara, terutamanya yang berkaitan dengan kebahasaan, kesusasteraan dan kebudayaan masing-masing.\nMenyentuh peranan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia dalam mengembangkan minda dan intelektual masyarakat, masing-masing bersetuju bahawa banyak cabaran yang perlu ditempuh dalam menjamin kelangsungan bahasa ibunda masing-masing. Hal ini juga turut disentuh oleh Datuk Abang Sallehuddin ketika membicarakan kelangsungan bahasa kebangsaan:\nBahasa Melayu mesti digunakan dalam urusan rasmi kerajaan. Bagaimanapun, masih terdapat halangan dan cabaran tertentu buat kami (DBP) yang perlu dihadapi dalam mengembangkan bahasa Melayu, terutamanya dalam kalangan generasi muda.\nSelain itu, beliau juga melihat potensi dan kerjasama yang boleh dilakukan berkaitan dengan usaha untuk mengembangkan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia, terutamanya dalam aspek penerbitan. Penerbitan dalam bidang terjemahan merupakan ruang dan peluang besar buat kedua-dua negara.\nKerjasama dalam kegiatan penerbitan terjemahan boleh dilakukan antara Malaysia dengan Indonesia dengan melibatkan penerbit-penerbit tertentu. Hal ini sudah semestinya akan memeriahkan industri perbukuan kedua-dua negara berkaitan dengan kegiatan penterjemahan.\nSelain itu, kedua-dua pihak juga melihat kaedah dan cara tertentu yang tidak konvensional dalam mengembangkan bahasa kebangsaan masing-masing. Hal ini termasuklah usaha menarik minat golongan kanak-kanak supaya mencintai bahasa ibunda mereka sendiri. Pihak delegasi tersebut menyatakan kekaguman mereka kepada kejayaan siri animasi Upin dan Ipin yang bukan sahaja mengangkat keindahan bahasa, malah membuktikan bahawa bahasa boleh berkembang dan dicintai melalui gaya penceritaan dan dialog dalam animasi tersebut. Kejayaan animasi tersebut dalam menarik minat golongan kanak-kanak di Indonesia juga menunjukkan bahawa banyak aspek bahasa dan kebudayaan yang boleh dikongsi bersama.\nSelain itu, kedua-dua pihak juga menyentuh tentang pentingnya mengangkat penulis sastera negara masing-masing ke peringkat antarabangsa. Contohnya penulis terkenal Indonesia, Pramoedya Ananta Toer pernah diusulkan untuk anugerah sastera tertinggi peringkat antarabangsa, iaitu Nobel Prize. Hal tersebut merupakan salah satu contoh kebanggaan bersama kedua-dua negara.\nSesi kunjungan hormat tersebut juga membincangkan hubungan kerjasama yang boleh diterokai melalui bidang pendidikan di universiti. Pertukaran mahasiswa, dan festival kebahasaan, kebudayaan dan kesusasteraan merupakan antara program yang boleh dilakukan bukan sahaja boleh mengeratkan hubungan negara serumpun, tetapi juga boleh mengangkat universiti masing-masing ke peringkat dunia.\n\nTurut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Tuan Haji Abd Halim Haji Harun, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, dan Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Penerbitan." "Mengkomersialkan Tulisan Jawi Menerusi Teknologi Pendigitalan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2212 Seminar Jawi dan Teknologi berjaya dilaksanakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada pagi tadi dan turut disiarkan secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP. Seminar ini berlangsung dalam dua sesi, iaitu sesi pertama pada pukul 11.00 pagi yang menampilkan empat orang panel undangan, manakala sesi kedua pula bermula pada pukul 12.45 tengah hari yang menampilkan tiga orang panel undangan.\nSebanyak tujuh orang pembentang terlibat dalam seminar ini, iaitu dari DBP, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Putra Malaysia (UPM), Akademi Jawi Kebangsaan Malaysia, Persatuan Pencinta Tulisan Jawi Selangor (PENJAWIS), dan Persatuan Seni Khat Kebangsaan Malaysia.\nSesi pertama seminar menampilkan empat orang panel iaitu pembentang dari DBP, (PNM), (UniSZA), dan (UPM) yang membentangkan kertas kerja masing-masing.\nMenurut YBrs. Dr. Azizul Ismail, Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa, Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP, kertas kerjanya yang bertajuk \u201cCabaran dan Strategi Pemerkasaan Tulisan Jawi di Malaysia\u201d mengulas tentang perkataan Jawi yang berasal daripada perkataan Arab, iaitu jawah. Bagi rumpun Nusantara pula, perkataan Jawi merupakan nama Arab yang diadaptasikan melalui sebutan dan tulisan dalam bahasa Melayu.\nKatanya, tulisan Jawi perlu dimartabatkan dan perlu ada pelan yang khusus. Antara pelan pemartabatan tulisan Jawi termasuklah membudayakan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat, memperkukuh tulisan Jawi dalam sistem pendidikan negara khususnya dalam kalangan generasi muda, memperkukuh ekonomi dan nilai komersial dalam tulisan Jawi. Sokongan padu dan komitmen semua pihak dan individu, kerajaan, dan organisasi merupakan elemen utama dalam memperkasakan tulisan Jawi.\nSelain itu, antara cabaran yang dihadapi dalam usaha pemerkasaan tulisan Jawi ialah tiada badan khas yang bertanggungjawab dalam pemerkasaan tulisan Jawi, tiada peruntukan kewangan khususnya untak pemerkasaan tulisan Jawi, kurangnya galakan dan dorongan untuk pemerkasaan tulisan Jawi, pandangan yang kurang tepat tentang tulisan Jawi (Jawi dikaitkan dengan isu agama sahaja), khalayak yang berminat masih kurang, kekurangan penggunaan tulisan Jawi pada paparan awam serta kurangnya bahan terbitan digital dalam tulisan Jawi.\nKatanya lagi, antara strategi pemerkasaan tulisan Jawi termasuklah mewujudkan pekeliling dalam tulisan Jawi, menubuhkan badan khusus yang berkepentingan dalam tulisan Jawi, menyediakan peruntukan khas untuk memperkasakan tulisan Jawi dan meningkatkan pengajaran dan pembelajaran dalam tulisan Jawi.\nSementara itu, Encik Faizal Hilmie Yusof dari PNM yang membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk \u201cProgram Pembudayaan Tulisan Jawi\u201d berkata bahawa program ini bermula pada tahun 2006 hingga kini dan mempunyai kerjasama dengan pelbagai institusi. Antara usaha PNM termasuklah mengadakan pelbagai pertandingan dalam tulisan Jawi, menerbitkan buku dan majalah dalam tulisan Jawi dan lain-lain lagi.\nMenurutnya, objektif program tersebut adalah untuk memperhebat penganjuran program melalui pelbagai pendekatan bagi memastikan pencapaian impak yang maksimum bagi menyedarkan masyarakat Malaysia agar kembali memugarkan jati diri dengan mencintai tulisan Jawi.\nKatanya lagi, perlu ada penghayatan dalam masyarakat tentang penggunaan tulisan Jawi yang merupakan suatu identiti yang mewarnai tamadun bangsa dan budaya yang dimiliki oleh negara ini sebagai suatu bangsa yang bertamadun tinggi dan seterusnya meletakkan tulisan Jawi di pentas antarabangsa.\nTambah beliau, antara hala tuju ke arah pembudayaan tulisan Jawi termasuklah keperluan mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak yang memerlukan suatu dasar atau polisi penguatkuasaan tulisan Jawi yang perlu dibentangkan di Parlimen.\nSelain itu, program baharu tulisan Jawi juga perlu diadakan sebagai pengenalan kepada masyarakat bagi menarik minat dan kecenderungan masyarakat dalam memperkasakan tulisan Jawi. Bagi memantapkan program tulisan Jawi, maka dana perlu diwujudkan.\nPembentang seterusnya pula ialah Ts Dr. Fatma Susilawati Mohamad dari UniSZA, yang berkongsi tentang usaha UniSZA untuk mendigitalkan manuskrip termasuklah membeli manuskrip Jawi lama dari luar negara. Antara matlamat projek pendigitalan manuskrip Jawi termasuklah untuk menyebarluaskan ilmu yang terkandung dalam manuskrip melalui capaian sistem yang dibangunkan.\nKatanya lagi, tulisan Jawi merupakan warisan dan khazanah negara ini yang perlu dipelihara dalam bentuk digital agar tidak pupus. UniSZA turut menjejak, mengumpul, memelihara serta melestarikan manuskrip Islam dan Alam Melayu yang mempunyai nilai sejarah negara dari serata dunia. Usaha ini adalah untuk menjadikannya sebagai rujukan kepada generasi kini dan akan datang.\nSelain itu, YBhg. Prof. Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz dari UPM pula membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk \u201cRancangan Televisyen Bijak Jawi. Katanya, Rancangan Televisyen Bijak Jawi mempunyai 52 episod dan merupakan projek anjuran Bersama Showbizz Metwork Broadcast Sdn. Bhd. dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama pelbagai pihak.\nTambah beliau, Rancangan Televisyen Bijak Jawi dijangka akan disiarkan secara langsung menerusi TV1, RTM pada waktu perdana yang mempunyai kadar penonton yang tinggi. Selain TV1, sebahagian rancangan ini juga akan dipaparkan di siaran Youtube, yang juga akan dikongsikan melalui pelbagai medium dan media sosial yang lain.\nRancangan ini berkonsepkan pendidikan santai yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. Kandungannya berfokus pada kaedah menulis dan mengeja Jawi dalam bahasa Melayu, termasuklah penggunaan teknologi seperti perisian dan aplikasi untuk menulis Jawi, menyemak ejaan, menukar tulisan Rumi kepada Jawi dan sebaliknya.\nSelain itu, rancangan tersebut dapat memudahkan penonton memahami cara membaca dan menulis Jawi dengan betul, menghidupkan tulisan Jawi sebagai satu warisan yang membentuk jati diri negara bangsa, menyediakan pendidikan sepanjang hayat untuk semua lapisan masyarakat, memartabatkan tulisan Jawi sebagai tulisan bagi bahasa kebangsaan yang dijamin oleh undang-undang negara serta mengkomersialkan tulisan Jawi." "Meniupkan Rohani, Membangunkan Jiwa: Bicara Buku Al-Attas\u2019 Psychology\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Selepas dua tahun enam bulan tertangguh disebabkan pandemik COVID-19, ilmuwan, teknokrat dan birokrat tersohor negara, Yang Berbahagia (YBhg.) Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memulakan kembali sesi Bicara Buku di kediaman beliau pada pagi ini.\nBuku Al-Attas\u2019 Psychology karya YBhg. Profesor Dr. Muhammad Zainiy Uthman terbitan Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM) 2022 menjadi pilihan buku pertama yang dibicarakan. Penulis merupakan Profesor di Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilization (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.\nPenulis melahirkan rasa kesyukurannya kerana berpeluang menimba ilmu bersama-sama dua orang ilmuwan Islam tersohor zaman moden ini, iaitu Fazlur Rahman semasa menuntut di Universiti Chicago, Amerika Syarikat dan YBhg. Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menjadi penyelia kajian doktor falsafah beliau di International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), Kuala Lumpur.\nBuku setebal 177 halaman ini disiapkan oleh penulis dalam tempoh dua tahun semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 yang lalu. Buku ini menggarap dan menterjemahkan pemikiran Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas yang dibahagikan kepada lima bab utama, iaitu \u201cPrologue\u201c, \u201cThe Human Soul and The Intellect\u201c, \u201cThe Heart and Spiritual Cognition\u201c, \u201cHappines\u201c and \u201cEpilogue\u201c.\nPenulis turut membicarakan beberapa gagasan Profesor Naquib al-Attas. Antaranya termasuklah tentang \u201cQalbu\u201d yang menjadi lebih penting berbanding dengan intelek dan harus menjadi asas kepada proses pendidikan; \u201ckesempurnaan intelek\u201d; dan empat perbezaan pengetahuan, iaitu wahyu, hikmah, ilham dan ilmu.\nDalam buku ini juga penulis mengetengahkan idea tentang roh atau jiwa (halaman 30) dan idea kapasiti pintar (halaman 34) melalui rajah yang dinukilkan oleh Profesor Naquib al-Attas. Penulis turut berhujah tentang kekeliruan dan kesilapan dalam pengetahuan serta kehilangan adab dalam menuntut ilmu yang berlaku pada masa ini.\n\nSesi bicara buku ini amat relevan dan signifikan kerana berupaya meniupkan rohani dan membangunkan jiwa pembaca serta memberikan sudut pandang yang kukuh dari kaca mata ilmuwan Islam dalam mendepani cabaran dunia moden khususnya yang berkaitan tentang kekeliruan dan ketidaksahihan epistemologi. Bertepatan dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat, menurut Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, sesi ini akan bersambung lagi. Sebagai rekod, buku terbaharu tulisan Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ialah Kumpulan Puisi Dari Penjuru Sofa. Buku ini telah menambahkan lagi koleksi kepustakaan Alam Melayu." "Dasar Terkini KPM Pacu Pendidikan Negara Bertaraf Global\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Program \u201cShowcase\u201d Transformasi Pendidikan yang berlangsung di Pusat Beli-belah Alamanda, Putrajaya pada 12 hingga 14 Ogos 2022 telah menampilkan Menteri Kanan Pendidikan, Yang Berhormat Datuk Dr. Radzi Jidin bagi menyampaikan dasar-dasar terkini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).\nYB Menteri Kanan Pendidikan mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan beberapa dasar utama kementerian, terutamanya yang berkaitan dengan pemansuhan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang telah diumumkan baru-baru ini.\nUjar beliau, pendekatan baharu yang diperkenalkan KPM membolehkan Malaysia mewujudkan satu sistem pendidikan yang dapat melahirkan murid yang mampu bersaing di peringkat dunia. Beliau turut menjelaskan bahawa sebarang keputusan yang dibuat dalam konteks membentuk dasar baharu di peringkat kementerian diteliti secara mendalam dan dikaji satu persatu.\nBeliau mengulas lanjut tentang Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) yang telah diperkenalkan pada tahun 2020 bagi memberikan peluang kepada ibu bapa yang berminat untuk mendaftarkan anak-anak ke sekolah asrama setelah Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan. Pelbagai pendekatan akan diambil bagi menetapkan kemasukan murid di tingkatan empat setelah pengumuman pemansuhan peperiksaan PT3 dibuat.\nKeputusan ini dibuat selaras dengan matlamat untuk mengukuhkan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang telah berlangsung lebih 10 tahun.\nSelama ini masyarakat terlalu memberikan tumpuan kepada peperiksaan, namun begitu kemenjadian murid keseluruhannya tidak menjadi tumpuan utama.\u201c\nJika tumpuan kita kepada peperiksaan, maka Pentaksiran Bilik Darjah itu adalah bukan menjadi keutamaan yang paling penting.\nTambah beliau lagi, pelaporan untuk setiap mata pelajaran juga ditambah kepada tiga pelaporan, iaitu pentaksiran berterusan, pelaporan berdasarkan ujian akhir sesi akademik dan laporan usaha murid. Selain itu, dalam mengurangkan beban guru, pihak KPM mengambil inisiatif untuk mewujudkan bank soalan bagi memudahkan guru menjana soalan untuk Ujian Akhir Sesi Akademik daripada sistem tersebut.\nBeliau turut menyeru ibu bapa, guru-guru dan masyarakat agar memberikan kepercayaan kepada kementerian untuk bergerak bersama-sama bagi menjadikan sistem pendidikan jauh lebih baik.\nApa yang paling penting, ibu bapa dan guru-guru perlu bekerjasama dengan niat untuk membina anak ini dalam sistem persekolahan kita.\nTransformasi ini adalah demi kebaikan anak-anak kita yang bakal menjadi pewaris kepada negara kita.\nProgram \u201cShowcase\u201d Transformasi Pendidikan ini merupakan salah satu aktiviti di bawah program khas KPM bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia pada tahun ini, iaitu program \u201cBersama Semarakkan Transformasi Pendidikan\u201d. Program ini merupakan usaha kolaboratif semua bahagian di KPM untuk menguar-uakan kepada masyarakat berkaitan dengan projek serta inisiatif transformasi yang dilaksanakan oleh KPM dalam usaha memacu kecemerlangan dunia pendidikan negara." "Beri Kepercayaan kepada Wanita untuk Mengemudi Tampuk Kepimpinan \u2013 Raja Puan Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 \u201cHari ini, semakin ramai wanita diberi kepercayaan untuk mengemudi tampuk kepimpinan, baik dalam sektor kepolisan mahupun dalam bidang lain seperti korporat dan pendidikan,\u201d titah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil pada hari ini dalam Webinar Women in Search of Excellence bertajuk \u201cLady Boss in the Police Force\u201d.\nMenurut baginda, \u201cPersepsi Wanita sebagai Pemimpin\u201d, iaitu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, kaum wanita seharusnya difahami sebagai seseorang yang mempunyai keyakinan, kecenderungan, minat dan perspektif yang pelbagai. Mengungkapkan persepsi negatif sebelum menyaksikan persembahan wanita akan melesapkan bakat serta keupayaan seseorang wanita tersebut akan menjejaskan sistem pentadbiran organisasi, baik dari segi keselamatan negara, ketenteraman awam serta tugasan kepolisan.\nKeselamatan negara, ketenteraman awam, pencegahan jenayah, serta pembentukan modal insan dalam Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) merupakan bebanan tugas yang sangat mencabar serta memerlukan tahap pemikiran yang tinggi, ketahanan fizikal serta mental yang kuat.\n\u201cSelain itu, dorongan dan sokongan dari orang rapat dan keluarga juga penting untuk menjaga kestabilan emosi dan mental mereka,\u201d titah baginda selepas berkenan menandatangani watikah penghargaan kepada Ketua Polis Perlis, DCP Dato\u2019 Surina Saad, ahli panel dan urus setia atas pelibatan dan komitmen dalam menjayakan program Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) Siri Ke-11, anjuran PDRM dengan kerjasama YTF secara dalam talian.\nMelalui titah baginda menyatakan bahawa antara rintangan yang harus dilalui adalah norma wanita dalam sektor kepolisan sebagai seorang ibu yang lembut dalam mendidik dan membimbing anak-anak, terselit ciri-ciri kepimpinan dan ketegasan seorang ibu. Hal ini secara tidak langsung membuka mata para wanita dengan memberikan pendedahan melalui maklumat yang padat dan bertepatan tentang realiti kini.\nAnggapan perspektif lapuk bahawa bidang kepolisan tidak sesuai kepada wanita tidak lagi relevan. Rata-rata wanita masa ini juga berpelajaran tinggi, mempunyai pekerjaan dan berkedudukan yang baik, bersifat kepimpinan dan berkaliber dalam tugasan. Wanita sebegini harus diberi merit dan penghargaan berdasarkan pencapaian kendiri mereka dan bukanlah berdasarkan kepada aspek jantina sahaja.\nSelaku Pengerusi YTF, baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani atas penganjuran program ini yang disempurnakan titah perasmiannya oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.\nDalam perkembangan yang sama, webinar ini turut melibatkan ahli panel yang berkongsi ilmu, pengalaman serta pandangan. Mereka ialah terdiri daripada DCP Dato\u2019 Nerita Yaacob yang membicarakan tentang Kerjaya Wanita dan Modal Insan dalam PDRM, DCP Dato\u2019 Sasikala Devi A/P Subramaniam (Macau Scam, Sumbangan Wanita dalam Pencegahan dan Siasatan Jenayah Komersil), DCP Normah Ishak (Pelibatan Pegawai Wanita dalam Isu Pencegahan Aktiviti Pengganas, ACP Siti Kamsiah Hassan (Jenayah Seksual dan Peranan Pegawai Wanita), manakala Inspektor Zaitul Najihah Abd Patah selaku pengacara majlis." "MAIPs Serah Tabung Ibnu Sabil kepada Kedutaan Switzerland\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (MAIPs) berkenan menyerahkan sumbangan melalui Tabung Ibnu Sabil kepada pihak Kedutaan Switzerland untuk kegunaan rakyat Malaysia yang dalam kesusahan di negara tersebut, hari ini.\nSwitzerland merupakan antara pelabur terbesar di Malaysia, malah menjadi pelabur ketiga terbesar di Eropah pada tahun 2021. Jumlah pelaburan masuk yang telah diluluskan dari Switzerland ke Malaysia berakhir tahun 2021 adalah bernilai RM17.2 bilion yang merangkumi sebanyak 231 projek.\nHal ini dikatakan demikian telah membuka sebanyak 24 ribu peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang. Antara syarikat multinasional dari Switzerland yang bertapak di Malaysia, termasuklah Nestle, VAT Group, Haco, ABB Group, Escatec Group, RUAG International Holding AG, Roche Holding AG dan banyak lagi.\nMenurut kajian, perdagangan Malaysia dan Switzerland pada tahun 2021 telah mencecah A.S.$2.34 bilion, iaitu meningkat sebanyak 11.3 peratus berbanding dengan tahun 2020. Daripada jumlah ini, eksport Malaysia adalah sebanyak A.S.$471.4 juta, iaitu turun sebanyak 26.4 peratus berikutan impak pandemik COVID-19 yang menjejaskan kapasiti penggiat industri serta kekurangan bahan mentah disebabkan oleh isu geopolitikal.\nSyarikat di Malaysia pula telah mengimport daripada Switzerland dengan nilai import sebanyak A.S.$1.86 bilion pada tahun 2021, peningkatan sebanyak 27.9 peratus. Walaupun, Malaysia mengimport lebih banyak daripada mengeksport, momentum aktiviti perdagangan antara kedua-dua negara dapat dikekalkan.\nBerikut adalah menurut hebahan media MAIPs yang dipersembahkan maklumkan oleh Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Bern, Switzerland, Zuliera Zariz Azman Aziz kepada Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika menyambut keberangkatan tiba baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kloten, Zurich, Switzerland.\nMenurut Zuliera, \u201cKedudukan Switzerland yang terletak di tengah-tengah benua Eropah dengan keadaan ekonomi dan politik yang amat stabil menjadikannya sebuah negara yang amat strategik untuk urusan perdagangan, ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi. Industri pekerjaannya yang amat berdaya saing telah menarik lebih daripada 1400 rakyat Malaysia untuk tinggal bekerja di sini.\n\u201cPada masa yang sama, ramai tenaga pakar dari negara Switzerland juga sedang dan akan bekerja secara sepenuh atau separuh masa di Malaysia dalam pelbagai bidang, terutamanya dalam bidang farmasi, kejuruteraan dan kewangan\u201d.\nTambah beliau, produk perkilangan kekal sebagai produk perdagangan utama antara Malaysia dengan Switzerland pada tahun 2021. Antara produk utama ialah produk perkilangan seperti produk elektrik dan elektronik, produk petroleum, bahan kimia dan produk kimia serta produk berasaskan kelapa sawit.\nBerangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakandanya, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.\nTurut hadir menyambut ialah Konsul Kehormat Malaysia bagi kanton Zurich dan Aargau, Guna Mahalingam.\nTuanku Raja Muda mempunyai jaringan luas di negara tersebut kerana pernah berkhidmat sebagai Pengurus Kawasan Malaysia Airlines bagi Switzerland, Austria dan Eropah Tengah berpejabat di Zurich dari tahun 1998 hingga tahun 2002 sebelum berangkat pulang untuk memegang amanah sebagai Pemangku Raja Perlis ketika Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Malaysia Ke-12." "Perjanjian MoU UiTM-CSRC Pakistan Terus Memperkasakan Bidang Penyelidikan dan Inovasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Universiti Teknologi MARA (UiTM) Malaysia dan Centre for Sustainability Research and Consultancy (CSRC) Pakistan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkasa kerjasama penyelidikan dan inovasi dalam satu majlis yang bertempat di MASMED, UiTM Shah Alam pada hari ini.\nMajlis penandatanganan perjanjian MoU ini telah disempurnakan oleh Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBhg. Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd. Fauzi, mewakili YBhg. Naib Canselor, Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor dan Profesor Dr. Abdul Halim Abdul Majid mewakili CSRC Pakistan.\nDalam perjanjian tersebut, teras utama MoU adalah untuk menggalakkan kerjasama dalam penyelidikan dan inovasi antara Malaysia dengan Pakistan dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, perniagaan dan sains sosial.\nHasil kerjasama itu, UiTM Cawangan Perlis dan MASMED, UiTM serta CSRC Pakistan menjadi tuan rumah bagi perlaksanaan 6th International Research Conference on Economics, Business and Social Sciences (6th IRC 2022-MY Chapter) yang diadakan bermula 17 hingga 18 Ogos 2022.\nKonferensi IRC kali keenam ini membawa tema \u201cDigitalization for sustainable business and society in emerging economies\u201d dengan lebih daripada 40 kertas kerja telah dibentangkan.\nDalam ucapan perasmian, YBhg. Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim mengatakan bahawa Konferensi IRC 2022 ini bukan hanya bertujuan untuk mengukuhkan hubungan kerjasama antara dua institusi dari dua negara, tetapi merupakan bukti perkongsian kepakaran dan pengalaman dalam menghadapi cabaran ekonomi sedang pesat membangun ke tahap yang lebih tinggi.\nTambah beliau, sebagai pendidik dan penyelidik, hal ini adalah penting untuk membantu negara dalam mempertingkat pertumbuhan ekonomi ke arah yang lebih stabil dan dinamik serta berdaya saing tinggi.\nKonferensi IRC 2022 kali ini turut mendapat kerjasama University of the Punjab Lahore Pakistan; Institut Bisnis dan Information Jakarta, Indonesia; United Nations Principles of Responsible Management Education (UN PRME-ASEAN chapter); serta Emerald Publishing United Kingdom, South Punjab Center for Research and Development Pakistan yang turut sama menghantar wakil.\nSementara itu, konferensi pada kali ini menampil Profesor Dr. S. Viswanathan dari Nanyang Technological University, Singapura sebagai pengucap utama dan beberapa wakil besar untuk sesi diskusi. Antaranya termasuklah Profesor Dr. Rosna Awang Hashim dari Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr. Haswan Yunaz, Rektor Institut Bisnis dan Information Jakarta Indonesia, Encik Mohamad Zulkurnain Abdul Rahman, Pengarah Urusan ZEM Holdings Sdn. Bhd., Dr. Mohamad Shahir Mohamad Suhaimi, Pengarah Urusan Callabio Manufacturing Sdn. Bhd. dan dikendalikan oleh Profesor Madya Dr. Sulaman Hafeez Siddiqui dari Islamia University of Bahawalpur, Pakistan." "Kuasa Pujukan Naratif sebagai Strategi Menangani Isu Sosial\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNaratif merupakan satu bentuk penceritaan yang mempunyai bahagian permulaan, pertengahan dan pengakhiran yang jelas. Naratif memberikan maklumat mengenai adegan, watak dan konflik yang tidak dapat diselesaikan pada awalnya tetapi beroleh penyelesaian pada akhir penceritaan. Pujukan naratif pula ialah kesan daripada naratif terhadap sikap, kepercayaan dan tingkah laku individu yang terdedah kepada naratif tersebut.\nMenurut hasil kajian terdahulu, pujukan naratif dalam bahan berasaskan teks terbukti sangat berkesan untuk penggunaan naratif dalam program Hiburan-Pendidikan atau \u201cEntertainment Education\u201d (E-E). E-E merupakan satu strategi komunikasi yang bermatlamat untuk menangani isu sosial atau pun meningkatkan pengetahuan penonton mengenai masalah yang dihadapi, mewujudkan sikap yang baik, membetulkan norma sosial dan mengubah tingkah laku. Pendekatan E-E yang berjaya perlu melalui suatu proses tuntas dalam merancang dan melaksana mesej media dengan tujuan untuk menghibur dan juga mendidik.\nNamun begitu, tidak banyak kajian yang dilakukan untuk mengukur pujukan naratif berdasarkan iklan pendek mahu pun iklan panjang seperti Hebahan Khidmat Awam atau \u201cPublic Service Announcement\u201d (PSA). Oleh itu, satu kajian perlu dijalankan bagi mengenal pasti cara atau kaedah proses naratif PSA beroperasi dalam meraih perhatian penonton.\nE-E telah digunakan sebagai alat untuk mengubah tingkah laku manusia di serata dunia dalam era penggunaan media yang meluas dan hampir tepu. Sebagai contoh, kaedah ini telah digunakan untuk memerangi masalah buta huruf di Amerika Latin (melalui telenovela Peru dan Mexico pada tahun 1969 dan 1970, \u201cSimplemente Maria\u201d), yang mempromosikan kesetaraan gender di Asia Selatan (melalui siri kartun \u201cMeena\u201d dari Bangladesh pada tahun 1991 dan tersebar ke negara-negara India Selatan), membasmi kemiskinan dan kempen untuk kesedaran HIV/AIDS di Afrika (melalui siri drama televisyen Afrika Selatan pada tahun 1992, \u201cSoul City\u201d). Di Malaysia pula, satu contoh terbaik ialah siri Dilema Wanita yang ditayangkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama 11 musim. Rancangan berupa drama pendek ini berkisar tentang konflik yang dihadapi oleh golongan wanita khususnya dalam menjadi ibu, isteri mahu pun sebagai seorang pekerja di pejabat. Pada akhir setiap siri, pakar motivasi terkenal Dato\u2019 Dr. Fadzilah Kamsah akan memberi sedikit kesimpulan dalam bentuk nasihat kepada penonton sebagai pengajaran kepada mereka yang mungkin mempunyai masalah yang serupa.\nKesemua program E-E ini didasarkan menerusi langkah-langkah yang dirancang secara teliti dengan melibatkan pelbagai pihak setelah mengkaji masalah sosial dan kesihatan masyarakat tertentu. Disokong oleh teori sosial, psikologi dan komunikasi, pakar daripada pelbagai bidang bekerjasama untuk merancang, melaksana dan memantau kejayaan program E-E tersebut. Usaha kolaborasi oleh pakar daripada pihak penerbitan dan pakar E-E adalah penting bagi kejayaan sesebuah program E-E.\nKajian dan pelaksanaan E-E adalah berdasarkan pelbagai teori dan model yang telah dibangunkan oleh pengkaji terdahulu. Pakar E-E menumpukan kajian kepada proses pujukan naratif daripada perspektif E-E dengan mempertimbangkan Teori Kognitif Sosial Bandura dan mengembangkan Model Penghuraian Penerangan atau \u201cElaboration Likelihood Model\u201d (ELM) yang diperluas dengan menambahkan konteks naratif. Mekanisme pemujukan naratif beroperasi agak kompleks. Terdapat banyak penyelidikan yang telah dilaksanakan untuk mengkaji kekuatan pujukan naratif sehingga menjadi begitu berkesan dalam mempengaruhi sikap, niat, kepercayaan dan tingkah laku yang berkaitan dengan penceritaan. Secara umumnya, pujukan naratif meningkatkan kesan pujukan dan mengurangkan hujah balas. Pujukan naratif dapat meningkatkan pengenalan (kepada watak-watak dalam jalan cerita) dan penyerapan ke dalam cerita, bagi mengatasi penentangan terhadap mesej media.\n\nDaripada perspektif E-E, pujukan naratif digunakan secara strategik untuk mengatasi penentangan. Satu contoh bentuk E-E yang paling berkesan ialah drama bersiri yang kebiasaannya berterusan untuk jangka masa yang panjang (berbulan-bulan bahkan bertahun-tahun) dalam proses menghibur dan melibatkan penonton yang setia. Contoh ini merupakan manipulasi pujukan naratif oleh pereka program E-E bagi menambahkan keberkesanan program E-E. Lama-kelamaan, penonton yang terlibat dengan naratif akhirnya terpengaruh oleh sikap, niat dan tingkah laku yang berkaitan dengan jalan cerita. Program EE ini adalah berdasarkan Model Hiburan Mengatasi Penentangan atau \u201cEntertainment Overcoming Resistance Model\u201d (EORM).\nEORM melibatkan dua konstruktif utama, iaitu penglibatan dengan naratif dan penglibatan dengan watak dalam penceritaan. Penglibatan dengan watak terdiri daripada pengenalan, pengenalpastian, kesamaan, interaksi parasosial atau \u201cParasocial Interaction\u201d (PSI), dan kesukaan kepada watak. Konstruksi ini boleh dikaitkan dengan konsep model sosial seperti yang dibawa oleh Teori Kognitif Sosial Bandura. Penglibatan dengan naratif pula digambarkan sebagai fenomena yang sama seperti penglibatan, penyerapan dan pengangkutan.\nPara penyelidik telah menguji model ini dengan membandingkan program naratif dan bukan naratif mengenai kesan buruk kehamilan yang tidak dirancang dalam kalangan remaja. Terdapat juga penyelidikan yang menerangkan rasional mengenai penggunaan komunikasi naratif sebagai alat perubahan tingkah laku yang melibatkan kesihatan.\nSatu kajian yang telah dijalankan pada tahun 2008, telah mempelopori cabaran penyelidikan dalam pujukan naratif dengan menyarankan penggunaan mesej naratif yang berkesan untuk berhubung dengan penonton dan pertimbangan perbezaan antara media. Peranan naratif diringkaskan sebagai \u201cmenyentuh emosi, mempengaruhi kepercayaan, mengajar tingkah laku baharu dan membentuk identiti budaya kita\u201c daripada perspektif pengangkutan (transportation) dan keupayaan pengangkutan individu (individual transportability). Penyelidikan yang paling hampir dengan kajian ini mengembangkan pengukuran bagi naratif yang melibatkan campur tangan unsur multimedia bagi kempen berhenti merokok.\nTerdapat juga kajian yang melihat kepada keterlibatan naratif daripada perspektif model pemikiran apabila tetapan bagi adegan, watak dan situasi digabungkan dengan maklumat daripada pengetahuan pembaca atau penonton dengan naratif. Pengetahuan sedia ada berasal dari dunia nyata dan pengalaman peribadi yang menjadi perantara kepada fiksyen dan bukan fiksyen. Semasa naratif diteruskan, model pemikiran ini sentiasa dikemas kini. Daripada model ini, mereka menghuraikan peranan pengambilan perspektif, kehadiran dan aliran dalam naratif yang sangat berkaitan dengan teori pengangkutan.\nKajian yang melibatkan filem dan drama ini seharusnya memfokuskan pada kedua-dua mekanisme pujukan naratif, iaitu penglibatan dengan naratif (pengangkutan) dan penglibatan dengan watak (emosi).\nKejayaan filem-filem tempatan semasa dalam menimbulkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat seperti filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan seharusnya dijadikan bahan kajian oleh pihak akademik. Kajian pujukan naratif ini mungkin dapat membantu pihak akademik untuk memahami keberkesanan E-E dalam menangani isu-isu masyarakat, selain dapat membantu pihak industri dalam pembikinan filem yang seterusnya." "KPM Lancar Portal Aduan Buli, Tangani Isu Buli dan Dadah di Institusi Pendidikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013\u00a0Berikutan isu buli yang kian menular dalam institusi pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil inisiatif dengan melancarkan portal Aduan Buli sebagai satu daripada platform pelaporan berkaitan dengan kegiatan jenayah dan perlakuan yang menyalahi undang-undang dalam kalangan pelajar sekolah.\nUsaha kolaboratif antara KPM dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) adalah untuk membolehkan ibu bapa dan pelajar yang menjadi mangsa buli khususnya untuk membuat laporan secara terus kepada kementerian, selain mengenal pasti permasalahan disiplin dan salah laku pelajar.\nMenurut YB Dato\u2019 Seri Hamzah Zainudin, Menteri Dalam Negeri, sejak kebelakangan ini isu buli dan dadah sering dibangkitkan di sekolah mahupun sewaktu keberadaan pelajar di luar sekolah.\n\u201cStatistik yang direkodkan oleh PDRM menjelaskan bahawa pelajar sekolah seolah-olah tidak mengendahkan bahawa kes buli di sekolah boleh merosakkan diri dan rakan-rakan di sekolah, malah menjadi satu masalah yang besar pada masa depan negara.\u201d\n\u201cPDRM dan AADK melalui kerjasama KPM akan bertanggungjawab untuk memastikan dapat bekerjasama dengan seluruh sekolah di negara ini bagi menangani isu buli dan dadah,\u201d ujar YB Dato\u2019 Seri Hamzah Zainudin ketika menyempurnakan majlis pelancaran Sekolahku SEJAHTERA: Sepakat dan Selamat, dan portal Aduan Buli yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 14(1), pagi tadi.\nTambah beliau, program Sekolahku SEJAHTERA, apabila dikatakan sepakat, bukan bermakna hanya mereka di sekolah, tetapi melibatkan masyarakat secara keseluruhannya untuk berpakat menjadikan sekolah tersebut sebagai satu daripada tempat yang selamat dan sejahtera kepada semua orang, khususnya generasi masa depan.\n\u201cPada tahun 1984, kerajaan telah mengumumkan bahawa dadah merupakan musuh negara nombor satu. Hingga hari ini, musuh negara nombor satu masih lagi dadah. Oleh sebab itu, majlis sebegini diadakan dapat memaklumkan kepada seluruh rakyat bahawa isu ini mampu ditangani apabila semuanya rakyat dan pihak berkepentingan bersepakat antara satu sama lain.\u201d\nSehubungan dengan itu, YB Dato\u2019 Seri Hamzah Zainudin turut mengatakan bahawa KDN akan mengadakan program \u201cKita demi Negara\u201d yang membabitkan semua masyarakat agar memahami keselamatan adalah tanggungjawab bersama.\nMengulas lebih lanjut hal yang berkaitan dengan kes buli, YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan menegaskan bahawa KPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana sekolah yang cuba berselindung mengenai kejadian buli dalam kalangan pelajar di sekolah.\n\u201cDari peringkat awal, kita sudah menekankan dalam kalangan murid tentang nilai kehidupan supaya difahami dan dibawa selepas mereka keluar daripada sistem persekolahan.\u201d\n\u201cSemua ini bermula daripada hati dan pemikiran yang rasional bahawa setiap keputusan yang dibuat itu adalah berdasarkan maklumat, analisis, data dan penelitian yang tepat,\u201d kata YB Menteri Kanan Pendidikan dalam menerangkan konsep Sekolahku SEJAHTERA seperti yang dilancarkan Februari lalu.\nYB Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, sistem pendidikan ini memerlukan kejujuran dan keikhlasan untuk membantu KPM dalam usaha membasmi masalah seperti gangguan seksual, buli, disiplin dan penyalahgunaan dadah.\n\u201cDalam menyelesaikan masalah ini, kepercayaan antara ibu bapa, pihak sekolah dengan kementerian mestilah terus ditingkatkan.\n\u201cJika benar berlaku masalah buli ini, laporkan kepada kami. Ada pelaporan sistem secara e-mel, status pelaporan khusus aduan dan juga melalui telefon,\u201d kata beliau yang khidmat pelanggan ini akan dikendalikan secara 24 jam, seterusnya disalurkan maklumat tersebut kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.\nTurut hadir YBhg. Datuk Yusran Mohd Yusof, Ketua Setiausaha KPM, YBhg. Dato\u2019 Haji Abdul Halim Haji Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, YBhg. Dato\u2019 Haji Pkharuddin Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum) KPM, YBrs. Dr. Norisah binti Suhaili, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) KPM, YBhg. Datuk Aidi Ismail, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), YBrs. Sutekno Ahmad Belon, Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Malaysia, YBhg. Datuk Fadlun Mak Ujud, Presiden merangkap Pengerusi Perbadanan Putrajaya (PPj) dan YBrs. Aminuddin Awang, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP)." "STPM 2021: Calon B40 Menunjukkan Prestasi Cemerlang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSelayang \u2013 \u00a0Jumlah Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) bagi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada tahun 2021 menunjukkan peningkatan sebanyak 0.01, iaitu 2.79 berbanding dengan tahun 2020, iaitu jumlah PNGK yang dicatatkan adalah sebanyak 2.78.\nMenurut YBhg. Profesor Dato\u2019 Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Haji Toriman, Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) merangkap Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pencapaian calon STPM 2021 secara keseluruhannya dianggap masih sama dengan pencapaian calon STPM 2020 kerana perbezaan peningkatannya hanya sebanyak 0.01 mata.\nTambah beliau, sebanyak 874 calon (2.14 peratus) telah mendapat PNGK 4.00 dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 66.82 peratus calon terdiri daripada golongan B40. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 874 calon yang berjaya memperoleh nilai PNGK sebanyak 4.00. Kejayaan calon STPM 2021 daripada golongan B40 turut mencatatkan kejayaan apabila sebanyak 21 orang calon daripada 36 calon yang berjaya memperoleh lima 5A.\n\u201cPencapaian calon STPM daripada golongan B40 yang memperoleh 4A dalam STPM 2021 turut menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 15.59 peratus, iaitu 116 calon berbanding dengan tahun sebelumnya,\u201d ujar Profesor Dato\u2019 Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan ketika Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2021 pada pagi tadi.\nDari segi pencapaian PNGK calon secara keseluruhannya didapati bahawa peratusan calon STPM 2021 pada PNGK 3.75 dan ke atas (9.04 peratus), PNGK 3.00 dan ke atas (41.72 peratus), PNGK 2.75 dan ke atas (55.85 peratus) dan PNGK 2.00 dan ke atas (88.24 peratus) adalah meningkat berbanding dengan tahun 2020.\nPencapaian tersebut telah menunjukkan bahawa jumlah calon STPM 2021 yang dapat memasuki universiti awam pada tahun ini akan turut meningkat.\nKetika sidang media tersebut, Profesor Dato\u2019 Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan turut berkata bahawa tiada perbezaan jurang pencapaian antara calon bandar dengan luar bandar berdasarkan perbandingan PNGK keseluruhan sejak dari tahun 2013, iaitu memperoleh PNGK 2.79. Antara faktor yang menyumbang kepada keputusan tersebut ialah tempoh masa yang lama diberikan oleh calon untuk menduduki peperiksaan dan sekali gus dapat memberikan peluang untuk calon lebih bersedia.\nMengulas dengan lebih lanjut, Encik Adnan Husin, Ketua Eksekutif MPM mengatakan bahawa pada tahun 2021, MPM telah menyusun semula tarikh peperiksaan selepas tempoh 20 minggu pembelajaran, dan calon meneruskan sesi pembelajaran secara dalam talian, berbanding dengan tahun 2020, iaitu calon hanya mempunyai 20 minggu pembelajaran secara bersemuka dan secara dalam talian.\nMengakhiri sidang media pada pagi tadi, Profesor Dato\u2019 Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan turut menyatakan bahawa tempoh pengemaskinian UPUOnline Program Pengajian Lepasan STPM dan setaraf adalah mulai\u00a022 Ogos 2022 hingga 26 Ogos 2022 dan calon boleh melihat dan mengemas kini keputusan peperiksaan dalam tempoh tersebut. Pengemaskinian pilihan program pengajian boleh dilakukan oleh semua lepasan STPM dan setaraf, kecuali bagi pelajar yang telah dipanggil untuk menduduki peperiksaan atau menghadiri temu duga." "Empat Tindakan dalam Pencegahan Kes Buli \u2013 Menteri Kanan Pendidikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 \u201cGenerasi baharu beranggapan bahawa buli itu merupakan perkara biasa dan sebab itu kita menginginkan kes buli ini dapat diminimumkan. Saya bersetuju dengan pihak polis untuk turun ke sekolah bagi memberikan lebih banyak penerangan kepada pelajar.\u201d\n\u201cProgram Sekolahku SEJAHTERA yang dilancarkan kementerian sejak Februari lalu banyak menekankan elemen dalam diri murid agar mereka dapat membuat keputusan tepat, selain mengelakkan diri daripada terlibat kes buli.\u201d\nDemikianlah antara inti pati YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan dalam satu Majlis Pelancaran Sekolahku SEJAHTERA: Sepakat dan Selamat dan portal Aduan Buli pada hari ini yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 14(1), Putrajaya.\nMenurut\u00a0YB Datuk Dr. Radzi Jidin, terdapat empat tindakan yang signifikan dalam usaha menangani isu kes buli dalam kalangan pelajar sekolah.\nPertamanya ialah penyedaran. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama-sama Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) komited menerapkan elemen \u201csepakat dan selamat\u201d dengan mengadakan pelbagai program kesedaran di sekolah. Dengan adanya program Sekolahku SEJAHTERA, pelajar akan lebih cakna terhadap salah laku atau kegiatan yang menyalahi undang-undang, malah membentuk pemikiran mereka yang lebih matang dan bersikap rasional.\nKedua ialah pelaporan. Menerusi platform digital Aduan Buli ini, ibu bapa, pelajar ataupun sesiapa sahaja pihak sekolah boleh menghantar aduan secara terus kepada kementerian tanpa rasa bimbang akan maklumat tersebut diketahui oleh pihak lain.\n\u201cKita hendak supaya satu pelaporan yang lebih lengkap dan tersusun untuk membolehkan ibu bapa atau pelajar menyampaikan maklumat tersebut kepada KPM.\u201d\n\u201cApa yang penting adalah memberikan maklumat tepat untuk kami lakukan siasatan. Setiap aduan diterima akan direkodkan dan maklumat pengadu juga boleh dirahsiakan,\u201c kata beliau yang menyeru agar orang ramai memanfaatkan portal aduan buli yang baru dilancarkan itu.\nKetiga ialah\u00a0penghukuman. YB Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, \u201cSama ada pada peringkat sekolah atau kes-kes yang melibatkan siasatan PDRM, maka penghukuman ini akan diambil tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang sedia ada.\u201d\nKeempat ialah pemantauan. Selain yang dilakukan oleh pihak sekolah, KPM memohon bantuan daripada PDRM dan AADK dalam pemantauan agar dapat dipastikan pelaksanaannya di sekolah seluruh negara. Dalam konteks pemantauan, \u201cKita memberikan pengukuhan, yakni pada beberapa bulan yang lepas, kita mengambil sebanyak 4000 orang warden asrama,\u201d tambah YB Datuk Dr. Radzi Jidin.\n\u201cJika sebelum ini, asrama mempunyai bilangan murid yang ramai dan wardennya sedikit, iaitu seorang sahaja yang berkhidmat, maka kini dengan pertambahan warden, mereka boleh hadir secara bergilir bagi memastikan pemantauan dilakukan dengan lebih baik,\u201d ujar beliau yang menjelaskan sebahagian daripada inisiatif KPM terhadap penambahbaikan sistem pendidikan negara.\nTambah beliau lagi, KPM sentiasa komited dalam memastikan sekolah dijadikan sebagai tempat yang selamat. Oleh itu, pada yang sama, KPM telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk melihat prosedur dan proses yang berkaitan dengan pengurusan gangguan seksual dan buli di institusi pendidikan di bawah KPM. Kuasa khas ini dipengerusikan oleh mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim.\nUntuk merealisasikan usaha ini, kita memerlukan sokongan dan dorongan daripada semua pihak. Ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memastikan anak-anak kita dididik dengan nilai-nilai murni. Pemimpin masyarakat, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlulah bergerak bersama-sama dengan KPM.\nMelihat peri pentingnya pencegahan kes buli, KPM akan terus berbincang dengan Menteri KDN, khususnya PDRM dan AADK untuk meningkatkan kesedaran anak-anak tentang elemen nilai kehidupan daripada terlibat dalam buli atau kes lain seperti penyalahgunaan dadah dan gangguan seksual." "UiTM dan JKN Negeri Perlis Eratkan Kerjasama dalam Bidang Penyelidikan dan Pendidikan Kesihatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Universiti Teknologi MARA (UiTM), Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkasa kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pendidikan kesihatan dalam satu majlis di sini pada hari ini.\nMajlis penandatanganan perjanjian persefahaman tersebut disempurnakan oleh YBhg. Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis mewakili Naib Canselor UiTM, YBhg.\u00a0Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor dan Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, YBrs. Dr. Ismuni Bohari.\n\nTeras utama MoU itu adalah untuk menggalakkan kerjasama dalam pendidikan kesihatan seperti penganjuran program, kempen atau aktiviti kesihatan; menjalankan aktiviti penyelidikan dan inovasi dalam bidang berkaitan dengan penganjuran simposium, persidangan atau kursus pendek berkenaan dengan isu yang berkaitan serta melaksanakan penempatan pelajar latihan industri di jabatan berkenaan.\nRektor UiTM Cawangan Perlis dalam ucapannya menjelaskan:\nPemain industri ialah penyumbang dan pemacu aktiviti ekonomi, manakala pihak universiti menjadi pembekal bakat anak bangsa kepada industri serta sektor ekonomi negara. Justeru, objektif utama pemeteraian MoU antara UiTM dengan JKN Perlis hari ini adalah untuk meningkatkan lagi kerjasama antara kedua-dua pihak seperti pemindahan dan perkongsian kepakaran, penempatan pelajar latihan industri, kerjasama penyelidikan dan penganjuran program yang sudah terjalin sejak 2012. Antara program yang telah dijalankan ialah Karnival Jelajah Sihat, Train for Trainer, Hari Kesihatan Sedunia serta Aerofithon Challenge.\nMajlis tersebut turut disaksikan oleh YBrs. Ts. Dr. Ernieza Suhana Mokhtar, Timbalan Rektor PJIMA, UiTM Cawangan Perlis; YBhg. Prof. Ts. Dr. Mohd Azlan Mohd Ishak, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Cawangan Perlis; YBrs. Dr. Ghazali Chik, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), barisan Jawatankuasa Eksekutif UiTM Cawangan Perlis dan tetamu undangan." "Teknologi Era Digital Mewarnai Tulisan Jawi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2212 Seminar Jawi dan Teknologi yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP turut disiarkan secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP. Sesi kedua seminar yang bermula pada pukul 12.45 tengah hari itu menampilkan tiga orang pembentang, iaitu dari Akademi Jawi Kebangsaan Malaysia, Persatuan Pencinta Tulisan Jawi Selangor (PENJAWIS) dan dan Persatuan Seni Khat Kebangsaan Malaysia.\nEncik Muhammad Syukri Rosli dari Akademi Jawi Kebangsaan Malaysia dengan kertas kerjanya yang bertajuk \u201cPemetaan Kerja Jawi dan Teknologi\u201d menerangkan tiga konsep Jawi dengan tujuan untuk menjadikan tulisan Jawi sebagai satu bentuk persuratan. Contohnya, tulisan Jawi dijadikan sebagai cap mohor dan ditulis dalam manuskrip. Selain itu, perlu ada satu disiplin ilmu untuk dapat mewarnai dan menghargai khazanah tamadun bangsa.\nTambah beliau, dari segi teknologi, terdapat tiga pendekatan yang dapat dilaksanakan, iaitu dapat memudahkan kerja dan menyelesaikan kerja pada waktu yang singkat, dapat menambah ilmu dan maklumat dengan pantas secara meluas dan dapat menambah kecerdasan akal fikiran. Menurutnya lagi, tulisan Jawi merupakan tulisan kedua terbanyak penggunaannya di dunia, iaitu tulisan Jawi muncul disebabkan oleh kewujudan teknologi.\nSelain itu, usaha giat perlu dilaksanakan oleh pelbagai pihak dengan memperbanyak penerbitan bahan bacaan dalam tulisan Jawi, mengadakan sistem pengarkiban bersama, menyediakan satu bentuk rupa taip yang mirip dengan huruf Jawi yang ada dan yang hampir pupus. Masyarakat perlu menggunakan tulisan Jawi kerana tulisan Jawi boleh berkembang sebagai satu bidang yang lebih besar pada masa akan datang.\nSesi pembentangan seterusnya pula diteruskan oleh Encik Mat Yusof Abd Rahman dari PENJAWIS, yang juga Pengerusi Persatuan Munsyi Dewan. Dalam kertas kerjanya yang bertajuk \u201cTeknologi Sokongan Tulisan Jawi\u201d, terdapat teknologi yang boleh diguna pakai pada sistem komputer yang menyokong penggunaan tulisan Jawi bagi memudahkan usaha menyampaikan maklumat kepada masyarakat dalam tulisan Jawi.\nAntaranya, termasuklah paparan papan kekunci android seperti Gboard, dan JawiUKM, yang menyediakan kemudahan untuk menaip tulisan Jawi. Terdapat juga kemudahan kekunci pada iPhone. Selain itu, terdapat perisian yang menyokong aplikasi transliterasi komputer daripada tulisan Rumi kepada tulisan Jawi seperti perisian e-jawi.net, dan aplikasi Jawi\u00a0secara dalam talian pula seperti eJawiMakmur, ejawi2u, dan jawigram (perisian dalam telegram).\nSementara itu, YBrs. Dr. Abd. Rahman Hamzah, selaku Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan dan pensyarah kanan Akademi Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia pula berkongsi pandangannya dengan hadirin melalui kertas kerjanya yang berjudul \u201cAnjakan Futuristik Seni Tulisan Jawi dalam Era Industri 4.0\u201d. Katanya, aktiviti tulisan Jawi cantik melalui seni khat kini semakin mendapat sambutan daripada masyarakat Malaysia.\nTambah beliau, seiring dengan era digital, tulisan Jawi dan seni khat turut mengalami pemodenan dengan pengenalan pelbagai teknologi. Pelbagai aplikasi baharu turut berkembang yang melibatkan setiap peringkat dan aktiviti yang dijalankan.\nDari segi estetika, seni tulisan Jawi cantik, iaitu gaya melentur lembut banyak digunakan oleh masyarakat di Alam Melayu. Bentuk gaya tulisan Jawi lama tertumpu manuskrip yang jelas dapat dilihat pada Batu Bersurat Terengganu, manuskrip lama, batu nesan dan lain-lain.\nMenurut beliau, tulisan Jawi juga mengalami proses pengindahan mengikut pelbagai faktor seperti tulisan lain yang bersumberkan huruf Arab. Pada zaman awal Islam, gaya tulisan Arab secara amnya boleh dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu ciri lembut melentur dengan gaya tulisan tangan bebas untuk kegunaan harian dan bentuk kaku, bersudut dan kemas." "Transformasi Pedagogi Teknologi Digital di dalam Bilik Darjah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Melihat akan kekangan sistem pendidikan negara akibat pandemik COVID-19, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersiap siaga memastikan langkah transformasi modul pengajaran dan pembelajaran (PdP) terus dipertingkat secara holistik.\nPendidikan digital merupakan antara tumpuan utama KPM dalam memacu perubahan landskap pendidikan negara ke arah melahirkan pelajar yang fasih digital, kreatif, inovatif dan berdaya saing tanpa mengetepikan pemerkasaan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) seperti capaian Internet, rangkaian dan peralatan TMK serta pembekalan peranti.\nApabila sektor pendidikan dibuka, KPM mendapati bahawa antara cabaran yang dihadapi oleh sekolah berkaitan dengan perkakasan TMK ialah model komputer yang lama, kerosakan dan tiada penggantian dilakukan, serta makmal masih belum mendapat pembekalan perkakasan TMK.\n\u201cKPM telah mengambil pendekatan baharu dengan menggunakan kaedah perolehan dari pembelian kepada sewaan perkakasan TMK secara sewa guna, iaitu \u201cLease to Use\u201d selama lima tahun, termasuklah waranti dan penyelenggaraan.\n\u201cAntara peralatan yang dibekalkan dan diganti, termasuklah komputer riba, pencetak, projektor dan port pengecasan,\u201d kata YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan dalam Majlis Transformasi Pendidikan: Pemerkasaan ICT yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 18(1), hari ini.\nDalam ucapannya, beliau berkata:\nSebanyak 500 bilik darjah di 110 buah sekolah di seluruh negara akan diubah menjadi kelas hibrid di bawah projek perintis oleh Kementerian Pendidikan mulai bulan depan.\n\u201cSelain menaik taraf infrastruktur digital dan TMK, kementerian juga akan mempertingkat rangkaian kawasan luas reka bentuk perisian (SD-WAN) dan rangkaian kawasan setempat (LAN).\nLangkah itu juga katanya, disasar untuk mewujudkan suasana di dalam kelas yang menyeronokkan, selain membolehkan guru berinovasi dalam pedagogi teknologi digital.\nMengulas hasil transformasi pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin memaklumkan bahawa penggantian pembekalan perkakasan TMK dilaksanakan secara tiga fasa bermula dari tahun 2022 hingga 2024, seperti yang berikut:\nSementara itu, dalam majlis pelancaran pada pagi tadi, YB Datuk Dr. Radzi Jidin memaklumkan bahawa KPM telah memperuntukkan sejumlah RM1.3 bilion untuk menaik taraf semua infrastruktur digital dan TMK di beberapa institut pendidikan yang terpilih, iaitu merangkumi Sekolah Menengah, Sekolah Menengah (Pendidikan Khas), Sekolah Genius, Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Teknik, Sekolah Seni, Sekolah Sukan, Sekolah Menengah Agama (Sekolah Agama Bantuan Kerajaan), Kolej Vokasional dan Kolej Matrikulasi.\nDengan adanya kelas hibrid, sekolah berupaya mengatur pengajian silang dengan sekolah lain bukan sahaja di dalam, tetapi di luar negara untuk mengukuhkan lagi penyampaian PdP sedia ada.\nDemikian ujar beliau yang berhasrat agar pelajar dan guru lebih bersikap terbuka dalam mencapai kandungan pembelajaran yang bermanfaat, selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.\nTurut hadir bersama-sama YB Datuk Dr. Radzi Jidin dalam Majlis Transformasi Pendidikan: Pemerkasaan ICT ialah\u00a0YBhg. Datuk Yusran Mohd Yusof, Ketua Setiausaha KPM dan YBhg. Dato\u2019 Haji Pkharuddin Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum) KPM." "KPPK Teruja Mengenali DBP dengan Lebih Dekat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai National Unity of Teachers (NUT) semalam hadir mengadakan lawatan ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nSesi taklimat dan tayangan video korporat berkaitan dengan DBP diadakan di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Aras 6, Wisma DBP. Lawatan ini diketuai Mejar Bersekutu (PA) Wang Heng Suan, (SDK., AMK., BKM), Setiausaha Agung KPPK, En. Mohamad Rafee \u00a0Abd. Rahman, Bendahari Agung KPPK, En. Mohd Fadzil Isa, Pengerusi Biro Bahasa Melayu, En. Sayuti Ibrahim, Setiausaha Biro Bahasa Melayu dan AJK Biro-biro Bahasa Melayu KPPK.\nTaklimat berkaitan bidang perkamusan di DBP telah disampaikan oleh Puan Zuraini Yeop Ahmad, Perancang Bahasa Bahagian Perkamusan DBP, manakala maklumat dan perkongsian berkaitan Bahagian Peristilahan dan Leksikologi disampaikan oleh Puan Atikah Awang, Perancang Bahasa.\nSesi pencerahan berkaitan dengan fungsi Akademi DBP pula telah dijelaskan secara komprehensif oleh Dr. Haji Shantrol bin Abdullah, Ketua Akademi DBP.\nSesi soal jawab berkaitan dengan perkhidmatan serta berkaitan Sijil Kemahiran Malaysia (Editorial) yang ditawarkan oleh Pusat Bertauliah Akademi DBP turut mendapat perhatian karyawan KPPK yang hadir.\nPihak KPPK turut telah mendapatkan maklum balas daripada Dr. Haji Shantrol berkaitan dengan Ujian Sijil Kecekapan Bahasa Melayu Warga Asing (SKBMW) yang dikendalikan oleh akademi ini secara kerjasama dengan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM). Sijil SKBWM ini diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia seperti Sijil Peperiksaan Awam Malaysia.\nDr. Haji. Shantrol juga memaklumkan bahawa daripada pengalaman MPM mengendalikan penilaian ini, bahawa warga asing dari negara Jepun amat menitik beratkan kualiti berbahasa Melayu. Malah yang paling membanggakan pihak majikan di Jepun juga mengiktiraf sijil ini dan mana-mana warganya yang memiliki sijil ini akan diutamakan dalam penilaian mereka untuk dihantar bertugas atau bekerja di Malaysia.\nSeterusnya, perkongsian oleh En. Armin Azhari Salleh daripada Bahagian Buku Umum berjaya mencuri perhatian karyawan KPPK dan diperjelaskan secara terperinci dan padat oleh En. Armin khususnya berkaitan penerbitan buku di DBP.\nSesi taklimat kunjungan ini seterusnya disampaikan oleh Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah. Beliau memaklumkan kepada karyawan yang hadir berkaitan peluang penulisan di majalah terbitan DBP serta bagaimana portal Jendela DBP serta majalah-majalah terbitan DBP boleh menjadi alat bantuan mengajar kepada guru-guru dan pelajar akan meraih serta menimba pengalaman sebenar penulisan dalam bahasa dan sastera kebangsaan.\nPada akhir sesi lawatan, semua karyawan KPPK dibawa mengunjungi Anjung DBP dan membeli buku-buku terkini terbitan DBP khususnya Kamus Dewan Perdana. Penyampaian cenderamata kepada wakil DBP turut disampaikan sebelum karyawan KPPK menamatkan sesi lawatan ini. Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan KPPK anda boleh layari www.nutp.org.my." "Pemantapan Pegawai Tadbir ke Arah Kecemerlangan Organisasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPengurus Sumber Manusia dalam perkhidmatan awam seharusnya menyumbang idea dan strategi baharu dengan matlamat untuk meningkatkan keupayaan perkhidmatan awam kepada suatu tahap yang lebih tinggi dalam usaha memenuhi cabaran persaingan menerusi amalan pengurusan sumber manusia yang berkesan. Negara kita memerlukan perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi untuk menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat serta menyediakan persekitaran yang kondusif bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing negara ke arah mencapai wawasan negara.\nMenurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tadbir bermaksud urusan mengelola atau menjalankan sesuatu urusan pejabat, tugas menguruskan sesuatu, pemerintahan, urus korporat (tadbir), cara (tindakan atau sistem), mentadbir, mengurus, mengawal selia dasar, fungsi, perjalanan sesebuah organisasi yang dipertanggungjawabkan ke Lembaga Pengarah. Mereka ini juga haruslah mempunyai pengetahuan asas untuk mengelola dan baik buruknya sesebuah negeri adalah bergantung kepada pegawai-pegawai yang menguruskannya.\nSecara umumnya, Pegawai Tadbir Universiti (PTU) bermaksud pegawai yang dilantik oleh pihak universiti untuk menjalankan tanggungjawab mengurus, mentadbir, dan mengelola serta menyelaras urusan yang dipertanggungjawabkan mengikut fungsi Pusat Tanggungjawab (PTJ) di mana seseorang PTU itu ditempatkan. Jawatan Pegawai Tadbir merupakan jawatan hakiki yang disandang oleh individu yang dilantik untuk menjalankan tugas-tugas pentadbiran dan pengurusan mengikut peraturan yang ditetapkan, dan mengikut arahan Pengurusan Tertinggi Universiti.\nPegawai Tadbir Universiti merupakan individu yang penting dalam melancarkan urusan pentadbiran di sesebuah universiti dan merupakan tempat rujukan di Pusat Tanggungjawab dalam urusan kelangsungan jabatan. Organisasi perlu sentiasa peka kepada perubahan yang berlaku dengan memastikan kebolehupayaan untuk menangani perubahan kekal relevan.\nMustopadidjaja Ar pula berpendapat istilah tata urus tadbir yang baik atau \u201cgood public governance\u201d membawa maksud pemerintahan yang baik, pengelolaan pemerintahan yang baik serta dapat pula diungkapkan sebagai penyelenggaraan pemerintahan ataupun pentadbiran negara yang baik. Istilah tata urus tadbir yang baik ini merupakan suatu konsep tentang penyelenggaraan pemerintahan yang bersih, demokratik dan efektif.\nAntara tugas pentadbiran ialah merancang, mengelola, mengurus, mengarah, menyelaras, membuat keputusan, melaporkan, menilai dan merumuskan proses pentadbiran.\u00a0 Antara langkah untuk menjadi cemerlang ialah pentadbir perlu memainkan peranan dalam menghayati misi dan visi universiti; seterusnya perancangan; diikuti oleh kompetensi dan keupayaan; pemantauan; serta mengenal pasti adab dan akhlak yang terpuji.\nSehubungan dengan itu, tanggungjawab pihak pengurusan sumber manusia di setiap agensi perkhidmatan yang ditubuhkan ialah dengan memberi komitmen sepenuhnya dalam menyelaras, melaksana, memantapkan dan memantau semua aspek pelaksanaan dasar pengurusan sumber manusia pada peringkat jabatan khususnya dan perkhidmatan awam amnya.\n\nKecemerlangan memerlukan pengorbanan, dedikasi, kesungguhan, kesabaran, iltizam, kepimpinan dan pelbagai lagi sikap dan sahsiah yang positif. Kakitangan merupakan aset yang paling bernilai dalam sesebuah organisasi. Dalam hal ini, organisasi memerlukan kakitangan yang berpengetahuan, berpengalaman dan berkemahiran serta mempunyai sikap yang baik.\nSatu daripada faktor pengurusan sumber manusia yang strategik ke arah kecemerlangan perkhidmatan awam ialah keupayaan sumber tenaga manusia yang berdaya saing dan menjadi penggerak utama dalam menyokong dan melaksanakan pembaharuan, pengubahsuaian, penciptaan semula dan perekayasaan semula kepada sistem dan proses pengurusan. Dalam hal ini, pembudayaan nilai-nilai kecemerlangan dalam perkhidmatan awam amat diperlukan dan berada pada tahap amalan yang tinggi seperti penghayatan nilai kualiti produktiviti inovatif, integriti, akauntabiliti, disiplin, profesionalisme, tadbir urus yang baik dan berfokuskan kepada komuniti.\u00a0 Cabaran utama yang dihadapi oleh pengurus sumber manusia dalam perkhidmatan awam ialah usaha untuk menjadikan pengurusan perubahan terhadap pengurusan sumber manusia itu bermakna dan berkesan serta menjamin pencapaian prestasi yang tinggi kepada organisasi masing-masing. Antara ciri sesebuah organisasi yang mencapai tahap prestasi tinggi termasuklah keupayaan pengurus sumber manusia membuat penyesuaian terhadap amalan pengurusan sumber manusia dengan keperluan kepada perubahan semasa. Oleh hal yang demikian, perubahan daripada pelaksanaan sumber manusia dalam perkhidmatan awam memerlukan pengurus sumber manusia yang berkeupayaan membentuk satu sistem pengurusan.\nRahsia kecemerlangan seseorang Pegawai Tadbir ialah berkaitan \u201c10 A\u2019s of personal excellence\u201d, iaitu ciri-ciri seorang Pegawai Tadbir perlulah dibangunkan oleh individu itu sendiri dan beliau perlu percaya dan faham tentang aspek kecemerlangan yang ingin dicapai. 10 A itu ialah:\nDalam membentuk kecemerlangan, pegawai perlulah mengetahui kepentingan utama dan tekanan yang dialami dalam organisasi, berkomunikasi secara jelas tentang keperluan dan sasaran yang hendak dicapai; membina jaringan sebanyak yang mungkin dan menjaga hati semua kakitangan; memahami strategi perundingan dan hemah yang tinggi; serta mengukuhkan perhubungan dengan semua individu lain.\nMerujuk kata-kata Ketua Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat USM-Digital Jabatan Pendaftar, Tuan Haji Yusoff Abdullah melalui Forum \u201cPemantapan Pegawai Tadbir ke Arah Kecemerlangan Pentadbiran Universiti\u201c yang telah diadakan pada 26 Julai 2021 lalu, antara rahsia kejayaan seorang pentadbir ialah dengan menjadi diri sendiri (be yourself); bertanggungjawab; terbuka dan bersedia menerima perubahan; berani mengambil risiko apabila membuat sesuatu keputusan/tindakan; membina hubungan dan sokongan daripada sekeliling; serta terus belajar, belajar dan belajar.\nKarekter seorang Pegawai Tadbir universiti yang berwibawa dan berkualiti termasuklah bertanggungjawab; berdisiplin; mempunyai kebolehan mengelola; mempunyai pemikiran untuk perancangan jangka masa sederhana/panjang; melakukan tugasan dengan cepat tetapi betul; kebolehan membuat keputusan; berani memberi pandangan; ketegasan mengikut kesesuaian; berkomunikasi dengan berkesan; mempunyai kebolehan mendengar dan berunding; pendokumentasian yang baik; mengakui kehebatan/kecekapan staf bawahan/sekerja; dan kebolehan menerima teguran dan mengakui kesilapan serta memohon maaf.\nAntara cabaran dan isu yang perlu ditangani dan dilalui PTU untuk masa kini adalah melibatkan tadbir urus, penjimatan sumber-sumber universiti, pencapaian universiti melalui Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicators) yang disasarkan, prestasi perkhidmatan staf, kenaikan pangkat, kebajikan staf dan lain-lain yang berkaitan.\nMenjadi tanggungjawab pegawai atasan juga untuk menjadi mentor kepada pegawai-pegawai baharu terutamanya yang baru sahaja dilantik. Hal ini bertujuan untuk membimbing dan memberikan tunjuk ajar dalam pengurusan dan pentadbiran. Pegawai-pegawai baharu merupakan barisan pelapis (Succession Plan) kepada pegawai-pegawai kanan dalam meneruskan tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Mereka merupakan bakal peneraju dalam kepakaran masing-masing yang akan dikenal pasti melalui kepimpinan mereka dalam menjalankan kerja-kerja hakiki pada peringkat PTJ juga melalui keterlibatan dan sumbangan serta komitmen mereka pada peringkat Universiti.\nPegawai kanan juga perlu menjadi pembimbing yang baik, dan sentiasa memberi ruang dan peluang untuk saling bekerjasama. Seandainya terdapat teguran dan nasihat yang perlu diberikan, maka tegurlah dengan baik dan berhemah bagi tujuan penambahbaikan dan bukan bertujuan untuk mengkritik dan mencari kesalahan. Sikap saling hormat menghormati merupakan kunci utama dalam mengekalkan keharmonian dan mengukuhkan perhubungan dalam sesebuah organisasi.\nSemoga institusi kepegawaian Pegawai Tadbir di universiti awam akan terus utuh dan cemerlang. Semoga institusi kepegawaian ini terus diberikan kepercayaan dan dipandang tinggi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh dedikasi, berintegriti, berakauntabiliti, berdisiplin dan mengamalkan ciri-ciri kepimpinan yang cemerlang.\n\u00a0\n\nPenulis, Penolong Pendaftar Kanan, Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), Universiti Teknologi MARA." "Pelantar DELIMa 2.0 Lebih Inovatif dan Berimpak Global\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 DELIMa, singkatan kepada Digital Educational Learning Initiative Malaysia merupakan pelantar yang menyediakan perkhidmatan sistem pengurusan pembelajaran dan sumber pembelajaran yang boleh digunakan oleh murid, guru dan ibu bapa untuk pembelajaran secara dalam talian. Pelantar DELIMa yang dibangunkan pada Jun 2020, menjadi medium utama pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) apabila kerajaan mengarahkan penutupan sekolah di seluruh negara akibat penyebaran virus COVID-19.\nKini, meskipun negara memasuki fasa peralihan ke endemik, pelantar ini terus mengalami penambahbaikan dari semasa ke semasa agar tampil lebih interaktif serta dapat memberikan pengalaman dan personalisasi yang lebih baik kepada para pengguna.\n\u201cKaedah ini merupakan pendekatan yang menyeluruh. Kita ingin menjadikan platform DELIMa ini sebagai asas bagi murid untuk digunakan dalam konteks pendidikan mereka. Sebagai contoh, kita memasukkan pautan Perpustakaan Negara Malaysia yang dapat dijadikan sebagai one-stop centre bagi murid mendapatkan akses kepada pelbagai maklumat yang ada di Perpustakaan Negara,\u201d ujar Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin, ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Transformasi Pendidikan DELIMa: Agenda Digital Kita yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8(1), hari ini.\n\nTambah beliau, dalam dunia digital pada hari ini, murid dan guru mempunyai sumber pembelajaran dan pendidikan yang pelbagai. Menyedari hal ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyusun strategi untuk merangkumkan kepelbagaian sumber ini dengan meningkatkan kecekapan akses bagi murid dan guru.\nBaru-baru ini, kita telah melancarkan Program Pemerkasaan ICT dalam semangat Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan. Bagi tempoh 2022-2023, kerajaan membelanjakan RM1.3 bilion untuk menyediakan perkakasan ICT kepada sekolah di seluruh negara melalui tiga fasa. Pada hari ini, kita bercerita tentang kesinambungannya, bahawa kita bukan sahaja menumpukan kepada keperluan \u2018hardware\u2019 tetapi juga \u2018software\u2019, iaitu merujuk pada DELIMa, sebuah platform yang cukup baik dan dinamik.\nKPM terus komited untuk membangunkan pendidikan yang menyeluruh seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa. DELIMa merupakan satu-satunya pelantar yang menggabungkan tiga rakan strategik utama KPM, iaitu Google, Microsoft dan Apple. DELIMa 2.0 muncul dengan ciri yang dipertingkatkan menggunakan kecerdasan buatan yang menggabungkan tiga elemen, iaitu:\nTurut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), YBhg. Dato\u2019 Haji Pkharuddin Haji Ghazali mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia; Timbalan Pengarah (Sektor Dasar, Perancangan dan Penyelidikan), YBrs. Encik Shaiful Hasnan bin Abdul Hamid mewakili Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, dan barisan wakil rakan strategik pelantar DELIMa, iaitu Google Malaysia, Microsoft Malaysia, Apple Malaysia serta United Nations Children\u2019s Fund Malaysia (UNICEF). Datuk Dr. Radzi Jidin juga berkesempatan mendengar taklimat tentang pembaharuan yang diperkenalkan dalam DELIMa 2.0 daripada empat rakan strategik tersebut di samping meluangkan masa melawat para pempamer yang turut serta dalam majlis pelancaran tersebut." "Pasukan Besbol Lelaki Negara Bakal Beraksi di Pentas Antarabangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Penaung DiRaja Persatuan Besbol Malaysia berkenan berangkat menghadiri majlis penyerahan simbolik bendera kontinjen Pasukan Besbol Lelaki negara yang akan menyertai Kejohanan Besbol Piala Koni 2022 di Jakarta, Indonesia pada 25 hingga 29 Ogos 2022.\nMenurut Naib Presiden Persatuan Besbol Malaysia, Dali Abdul Latiff Aw,\nPasukan negara dijadualkan akan bertemu dengan pasukan besbol kebangsaan Singapura dan Indonesia. Hal ini bermakna, pasukan besbol lelaki negara bakal mengutip mata kedudukan dunia buat pertama kali pada tahun ini setelah 12 tahun tidak beraksi di pentas antarabangsa.\nMajlis penyerahan simbolik bendera kontinjen Pasukan Besbol Lelaki menyaksikan bendera tersebut diserahkan oleh Naib Presiden Persatuan Besbol Malaysia, Dali Abdul Latiff Aw kepada Setiausaha Persatuan Besbol Perlis, Syed Akhmal Syed Jamalil di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), semalam." "Ekspo Buku Malaysia 2022, Memartabatkan Industri Penerbitan dan Penulisan Tempatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSerdang \u2013 Buku merupakan suatu legasi yang ampuh bagi tatapan setiap generasi, bukan sahaja pada peringkat akademik, bahkan dalam proses pembangunan sosioekonomi negara.\nUniversiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) menganjurkan Ekspo Buku Malaysia 2022,\u00a0Persidangan Buku Antarabangsa 2022 dan Anugerah Buku Negara 2022,\u00a0yang berlangsung selama empat hari bermula pada hari ini hingga 25 Ogos 2022\u00a0dengan mengangkat slogan \u201cKeluarga Malaysia, Membaca Sepanjang Hayat\u201d.\nMenurut YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latif Abu Bakar, Pengerusi Lembaga Pengelola YPBN:\nEkspo ini merupakan inisiatif bagi memupuk budaya cendekia dan buku, serta untuk memperkasa usaha YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri, Perdana Menteri Malaysia dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN.\nEkspo ini sangat bermanfaat untuk menghasilkan resolusi bagi memajukan penerbitan buku\u00a0ilmu dan peri pentingnya buku\u00a0ilmu diterbitkan dalam bahasa Melayu, selain dijadikan sebagai rujukan lanjut.\n\u201cMelalui tamadun berilmu, budaya membaca dan mempunyai sumber kekuatan jati diri, pastinya penulis dapat memberikan satu penghubung dan semangat kepada masyarakat untuk memupuk minat membaca,\u201d ujar Pengerusi Lembaga Pengelola YPBN yang berhasrat agar lebih banyak karya yang dihasilkan oleh industri penerbitan dan penulisan tempatan.\nMengulas lebih lanjut, beliau mengatakan bahawa hal ini secara tidak langsung dapat menyahut sasaran badan dunia UNESCO Pertubuhan Sains, Pendidikan dan Budaya Bangsa-Bangsa Bersatu dalam mencapai wawasan 32 ribu buah buku penerbitan tempatan setiap tahun.\n\u201cProgram\u00a0berbentuk majlis\u00a0penganugerahan seperti ini\u00a0sudah pasti dapat mendorong minat pelajar, pendidik, penulis, pengkaji, penerbit serta golongan pakar dan profesional untuk\u00a0menyumbang, dan seterusnya menerbitkan karya\u00a0yang bermutu tinggi bagi memartabatkan\u00a0industri penerbitan dan penulisan tempatan.\nSementara itu, YH Profesor Dato\u2019 Dr. Mohd. Roslan Sulaiman, Naib Canselor UPM berkata, sebagai tuan rumah bagi program ini, beliau yakin program ini mampu menjadi suatu suntikan kepada warga institusi pendidikan, khususnya UPM untuk menterjemah fungsi institut sebagai menara ilmu.\n\u201cPembudayaan ilmu yang disajikan menerusi penerbitan yang berimpak bukan sekadar pada nilaian indeks semata-mata, tetapi yang jauh lebih penting ialah kemenjadian dan keluasan manfaatnya kepada masyarakat,\u201d jelas beliau ketika berucap di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM, hari ini.\nMenurut beliau, kewujudan pusat penerbit di universiti merupakan satu daripada usaha signifikan dalam mengangkat penghasilan dan penerbitan buku yang berkualiti.\n\u201cAmat rugi sekiranya pelapis negara tidak menyedari akan keistimewaan buku sebagai satu medium ilmu yang penting. Saya menyeru kepada semua penggiat industri buku tempatan supaya berganding bahu, berteguh janji untuk menaikkan semula semangat mencintai buku sebagai satu wadah mencipta ketamadunan dan peradaban.\u201d\n\u201cBukan sahaja buku fizikal, boleh juga buku dalam bentuk elektronik seperti e-buku; kerana ilmu tidak mungkin hilang di dunia, tetapi medium penyampaian ilmu itu sendiri mungkin berubah mengikut zaman.\u201d\n\u201cPengadaptasian terhadap media baharu yang telah menguasai dunia hari ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya tanpa menghilangkan nilai ketamadunan dan peradaban ilmu,\u201d ujar Naib Canselor UPM yang yakin bahawa sosok warga negara yang berilmu dan berpengetahuan merupakan cerminan sesebuah negara yang maju." "DBP Dinobatkan sebagai Penerbit Prolifik dalam Anugerah Buku Negara 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSerdang \u2013\u00a0Penerbit ulung negara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada petang ini menerima tiga anugerah berprestij dalam majlis Anugerah Buku Negara 2022 yang berlangsung di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM).\nSelaras dengan fungsinya dalam memperkembangkan pencetakan dan penerbitan buku, DBP dinobatkan sebagai satu daripada organisasi yang paling banyak menghasilkan karya, iaitu dalam kategori Anugerah Penerbit Prolifik.\nIndustri perbukuan negara memainkan peranan penting dalam membentuk generasi Malaysia yang bertamadun dan berdaya saing.\n\u201cIni waktunya kita sama-sama meneruskan, mempertahankan dan memperkasakan kegiatan penulisan, penerbitan dan perbukuan kita yang telah dimasyhurkan sebagai Komuniti Buku Kelas Dunia.\nPenyampaian hadiah tersebut disempurnakan oleh YBhg. Dato\u2019 Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.\nKetua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Salellehuddin Abg. Shokeran ketika dihubungi editor Dewan Masyarakat\u00a0menyatakan penghargaan kepada Jabatan Penerbitan yang terlibat secara langsung dalam menjayakan penerbitan buku, Menurut beliau,\nUsaha yang dilaksanakan oleh DBP itu merupakan usaha yang berterusan untuk mengangkat buku sebagai wadah ilmu bagi menjayakan objektif utama Dasar Buku Negara dan memupuk minat membaca dalam kalangan rakyat.\nBeliau turut menyatakan penghargaan kepada Bahagian Buku Umum, Bahagian Buku Sastera dan Bahagian Penyelidikan Sastera, penulis dan editor yang turut menjayakan penerbitan buku sehingga meraih Anugerah Buku Umum Terbaik (Pengurusan Organisasi) dan Anugerah Buku Umum Terbaik (Biografi) pada hari ini.\nSelaku Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat ketika dihubungi oleh editor turut melahirkan rasa gembira atas anugerah tersebut hasil usaha gigih staf di Jabatan Penerbitan dan Bahagian Penyelidikan Sastera DBP. Menurut beliau, Jabatan Penerbitan akan terus giat menerbitkan buku demi kelangsungan ilmu dan peradaban bangsa.\nSementara itu, Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah yang mewakili Ketua Pengarah DBP dalam majlis tersebut berkata, anugerah ini memberikan satu penghargaan dan motivasi kepada organisasi khususnya untuk melahirkan karyawan yang versatil dan memangkin perkembangan industri perbukuan, seterusnya memupuk tamadun cinta akan buku dan bersedia dalam menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan pada era globalisasi kini.\nDalam majlis tersebut, buku terbitan DBP, Sarwajagat Kepimpinan Islam dalam Pengurusan Organisasi, tulisan oleh Ab Aziz Yusof, Muhammad Afif Mohd Badrol berjaya memenangi anugerah bagi kategori Anugerah Buku Umum Terbaik (Pengurusan Organisasi). Buku ini memberikan panduan kepada pemimpin organisasi dalam merangka semula hala tuju organisasi yang jelas.\nAnugerah seumpama ini sudah tentu memberikan perangsang dan dorongan kepada editor untuk terus membantu penulis menghasilkan manuskrip yang terbaik. Antara tugas editor buku adalah untuk menambah baik teks yang disunting agar menjadi karya yang lebih teguh dan unggul hingga penulis dapat menyumbangkan ilmu baharu kepada masyarakat,\u201d kata editor, Puan Siti Nur Hidayah Othman Bakar.\nManakala, buku yang berkonsepkan biografi dalam menyingkap pahit manis kehidupan seorang Sasterawan Negara, iaitu Biografi Sasterawan Negara Shahnon Ahmad: Anak Nan Bertuah, terbitan DBP dan tulisan oleh Mohd. Yusof Hasan telah memenangi kategori Anugerah Buku Umum Terbaik (Biografi).\nKerjasama antara penulis dengan editor amat penting dalam menghasilkan karya yang bermutu. Kebiasaannya penulis akan memberikan sepenuh kepercayaan kepada editor untuk menguruskan penerbitan buku mereka.\u201d\n\u201cNamun begitu, sebagai seorang editor, pandangan dan idea daripada penulis juga perlu diambil kira. Gabungan idea daripada penulis dan editor menjadikan karya yang diterbitkan mempunyai nilai estetika yang tersendiri,\u201d kongsi editor buku biografi ini, Puan Adibah Maheran.\nKetua Editor Bahagian Buku Umum, Encik M Azahari Edin dan Ketua Editor Bahagian Buku Sastera, Puan Nurul Julia Alani Henry berharap agar anugerah tersebut akan membakar semangat editor untuk terus memberikan khidmat terbaik dalam usaha menambah baik bahan penerbitan.\nAnugerah Buku Negara merupakan satu pengiktirafan dan suntikan semangat daripada Yayasan Pembangunan Buku Negara kepada penggiat industri buku untuk terus menghasilkan buku yang berkualiti dan tidak tertumpu kepada buku komersial sahaja, selaras dengan Dasar Buku Negara." "Ketua Menteri Sabah Zahirkan Sokongan terhadap Pemartabatan Bahasa dan Sastera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKOTA KINABALU \u2013 Isu pemartabatan bahasa dan sastera kebangsaan di negeri ini tidak terkecuali daripada perhatian Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.\u00a0 Cakna akan kepentingan tersebut, kerajaan negeri Sabah telah memberikan sumbangan dana kepada Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) sebanyak RM120 ribu untuk merealisasikan pelbagai kegiatan berkaitan dengan bahasa, sastera dan penerbitan.\nKetua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, dalam kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Menteri Sabah pada pagi ini menzahirkan rasa terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah atas sokongan dan dukungan yang diberikan. Dukungan ini membuktikan bahawa soal persuratan bahasa, sastera dan penerbitan dalam bahasa kebangsaan tidak terpinggir dalam pelan pembangunan Sabah ke arah pencapaian Sabah Maju Jaya. \u00a0Antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut termasuklah hala tuju dan kegiatan DBPCS yang melibatkan pelbagai agensi, perancangan berkaitan penerbitan buku dan hal-hal berkaitan DBP.\nYang turut hadir dalam pertemuan ini ialah Ahli Lembaga Pengelola DBP, Datuk Jasni Matlani; Pengarah DBPCS, Puan Aminah Awang Basar; dan pegawai kanan DBPCS." "UMK dan DBP Perkasa Penulisan Popular dalam Majalah dan Penerbitan Buku\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBachok \u2013 Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan Bengkel Penulisan Popular pada hari ini, bertempat di UMK Bachok. Dua orang pegawai DBP dari Kuala Lumpur diundang sebagai penceramah bagi mengendalikan bengkel tersebut. Sebanyak 30 orang peserta yang terdiri daripada ahli akademik Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan serta Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan hadir sepanjang kedua-dua sesi yang dijalankan tersebut.\nBengkel ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada ahli akademik UMK mengenai peluang dan ruang yang disediakan oleh pihak DBP bagi penerbitan penulisan popular dalam 11 majalah terbitannya dan portal digital JendelaDBP serta penerbitan buku.\n\nPengisian bengkel ini dimulai dengan sesi pertama yang dikendalikan oleh Encik Abd. Kadir Mohd. Ayub, Editor majalah Dewan Masyarakat. Beliau memperkenalkan 11 majalah mengikut bidang yang diterbitkan oleh DBP secara bulanan dan portal digital DBP, iaitu JendelaDBP. Selain itu, perincian kandungan setiap majalah beserta ruangan-ruangan yang bersesuaian dengan kepakaran peserta yang hadir turut dikongsikan oleh beliau dengan mendalam. Pengalaman beliau yang luas dalam konteks perolehan dan penerbitan bahan penulisan popular dalam majalah DBP telah memberikan pencerahan yang amat baik kepada para peserta.\nSesi kedua pula dikendalikan oleh Puan Tengku Fauziah Ku Mat, Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa DBP. Beliau berkongsi pengalaman selama 25 tahun berkhidmat di DBP khususnya mengenai proses perolehan dan penerbitan buku pelbagai jenis seperti buku ilmiah dan buku umum. Yang menariknya, beliau juga memperincikan tips dan rahsia penghasilan manuskrip yang berkualiti untuk diterbitkan oleh DBP. Penyampaian beliau begitu bersahaja, namun amat berkesan dalam usaha meningkatkan motivasi para peserta bagi menyediakan draf manuskrip buku untuk dihantar kepada pihak DBP bagi tujuan penilaian.\nUMK dengan kerjasama DBP turut berhasrat untuk memperkasakan penghasilan dan perolehan penulisan makalah popular dan penerbitan buku yang berkualiti serta layak diterbitkan oleh DBP sesuai dengan kepakaran bidang ahli akademik di UMK. Inisiatif ini juga bermatlamat untuk menyebarluaskan idea dan pemikiran ahli akademik supaya boleh dimanfaatkan oleh masyarakat, sekaligus dapat memberikan impak dalam pengukuhan Keluarga Malaysia yang harmoni dan sejahtera." "Penerbitan Buku Ilmu Rancakkan Lagi Industri Perbukuan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSerdang \u2013 Apabila berbicara tentang buku ilmu, pasti terbayang di minda pembaca bahawa buku-buku tersebut diterbitkan untuk kegunaan para pelajar di universiti, kolej, maktab dan sekolah. Akan tetapi, adakah buku-buku selain itu tidak diklasifikasikan sebagai buku ilmu? Persoalan inilah yang diutarakan oleh YBhg. Profesor Emeritus Abdullah Hassan, Penasihat PTS Media Group Sdn. Bhd. ketika sesi pembentangan Forum \u201cPenerbitan Buku Ilmu untuk Pembaca Umum\u201d pada pagi tadi.\nForum tersebut merupakan satu daripada program yang diadakan sempena Ekspo Buku Malaysia dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022 yang diadakan mulai 22 Ogos 2022 hingga 25 Ogos 2022 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM).\n\u201cBuku-buku yang dijual di kedai buku biasa juga merupakan buku ilmu, tetapi ada kelainannya daripada buku yang digunakan oleh para pelajar sama ada pada peringkat sekolah atau universiti. Buku-buku tersebut diterbitkan untuk pembaca umum. Buku tersebut yang juga dikenali dengan tread books ialah buku-buku ilmu tetapi telah disesuaikan, dicetak dan dijual, dan pembelinya bukan terdiri daripada para pelajar semata-mata, tetapi juga melibatkan masyarakat umum.\n\u201cTerdapat banyak buku ilmu yang terdapat di kedai buku, tetapi masyarakat umum tidak menyedari bahawa buku tersebut ialah buku ilmu. Buku-buku tersebut ditulis dalam pelbagai genre, sama ada fiksyen atau bukan fiksyen, meliputi resepi, sejarah, buku kanak-kanak dan buku agama yang dipersembahkan dalam bentuk yang menarik dan mudah difahami. Maka, tidak hairanlah jika ada pelajar universiti yang akan membelinya sebagai buku rujukan kerana persembahannya yang lebih santai, jelas beliau.\nMenurut beliau lagi, dalam pembangunan sesebuah negara terdapat perkaitan antara negara yang mempunyai banyak buku ilmu, makanya rakyatnya membaca dan menjadi pandai; berbanding dengan negara yang tidak banyak buku ilmu dan mereka tetap dalam keadaan tidak membangun. Sebagai contoh, di Jepun, Korea, Taiwan dan China, selepas ilmu diimport masuk ke negara tersebut dan menjadi bacaan rakyatnya, barulah negara itu membangun dengan lebih pesat.\nUntuk meningkatkan jumlah penerbitan buku ilmu, beliau mencadangkan supaya \u00a0bilangan penulis dapat ditingkatkan, selain melantik para penterjemah supaya mereka boleh mengimport ilmu ke dalam bahasa tempatan. Kempen membaca di sekolah juga harus digiatkan dan pelajar digalakkan membaca buku ilmu selain buku cerita. Setiap orang harus menjadikan amalan membaca sebagai tabiat yang kekal sepanjang hayat. Selain itu, penulis yag menulis dalam bahasa Melayu diberikan markah dalam penunjuk prestasi utama (KPI) masing-masing.\n\u201cBuku umum sangat perlu, malah pasarannya jauh lebih besar daripada buku ilmu yang digunakan oleh para pelajar di universiti,\u201d tegas beliau.\nSementara itu, Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang merupakan ahli panel kedua forum bersetuju dengan definisi buku ilmu yang diberikan oleh YBhg. Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan bahawa buku ilmu merujuk apa-apa genre buku dalam pelbagai bidang ilmu yang memberikan manfaat kepada pembaca, termasuklah bahasa, sastera, agama serta sains dan teknologi.\u00a0 Dalam konteks DBP, selain daripada penerbitan berasaskan komersial, DBP juga menerbitkan buku yang menitikberatkan soal tanggungjawab sosial. Usaha ini dilakukan bagi mendukung Dasar Buku Negara, Dasar Industri Kreatif Negara dan Dasar Galakan Membaca yang diperkenalkan oleh kerajaan. Pada masa ini, usaha menanam sifat suka membaca terus dilaksanakan menerusi program Dekad Membaca Kebangsaan dan Dekad Bahasa Kebangsaan pada pelbagai peringkat agensi.\nMenurut beliau, walaupun dalam fasa pandemik buku-buku digital menjadi pilihan rakyat Malaysia, namun semasa Pesta Buku Kuala Lumpur yang lalu, sambutan yang diberikan oleh rakyat Malaysia terhadap buku fizikal amat menggalakkan. Hal ini bermakna bahawa buku fizikal masih diminati oleh rakyat Malaysia.\n\u201cOleh itu, buku-buku ilmiah dalam bahasa Melayu perlu diperbanyak dalam usaha memenuhi keperluan rakyat Malaysia dan pada masa yang sama untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa ekonomi dan bahasa negara seterusnya bahasa antarabangsa. Karya tersebut juga boleh dipelbagaikan untuk bacaan umum mengikut sasaran pembaca,\u201d tambah beliau.\nDalam hal ini, DBP terus berusaha mempertingkatkan jumlah buku ilmu termasuklah buku ilmiah dalam bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa lain selain menerbitkan buku dalam bidang sains dan teknologi. Kerjasama dengan universiti juga dilakukan bagi memastikan judul-judul terancang dapat diterbitkan, di samping usaha menerbitkan tesis dalam bentuk buku.\nBagi menarik minat pembaca buku-buku ilmu dengan lebih berkesan, DBP juga menerbitkan buku ilmu dalam bentuk interaktif, seperti penggunaan audio visual menerusi penggunaan kod respon pantas (QR) dan aplikasi digital interaktif untuk kanak-kanak yang dipasarkan menerusi Google Play.\nSelain itu, DBP telah membangunkan pelantar penerbitan digital, iaitu JendelaDBP dalam usaha mengangkat karya yang diterbitkan ke peringkat antarabangsa. JendelaDBP sebagai pusat sehenti kandungan digital DBP turut memuat naik buku-buku bercetak dan digital yang diterbitkan sebagai usaha mempromosikan dan menjual buku-buku tersebut. Buku-buku yang diterbitkan dijual secara dalam talian dan dipromosikan menerusi kaedah penstriman.\n\u201cUsaha penerbitan buku perlu dipergiat untuk menyokong agenda dan dasar negara. Usaha memandaikan bangsa merupakan tanggungjawab kita bersama. DBP membuka seluas-luasnya ruang dan peluang untuk penulis berkarya dengan DBP. Seterusnya, usaha pendigitalan karya harus dilaksanakan agar karya yang diterbitkan dapat diakses pada peringkat global kerana penerbitan buku fikizal dan digital merupakan kesinambungan peradaban bangsa,\u201d jelas beliau lagi.\nBeliau juga mencadangkan pemberian baucar buku diadakan kembali sebagai satu galakan kepada masyarakat untuk terus membudayakan amalan membaca." "\u0645\u06a0\u0643\u0648\u0645\u0631\u0633\u064a\u0627\u0644\u0643\u0646 \u062a\u0648\u0644\u064a\u0633\u0646 \u062c\u0627\u0648\u064a \u0645\u0646\u0631\u0648\u0633\u064a \u062a\u064a\u0643\u0646\u0648\u0644\u0648\u06ac\u064a \u06a4\u0646\u062f\u064a\u06ac\u064a\u062a\u0644\u0646\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Anugerah Buku Negara: Menyuntik Motivasi kepada Penulis dan Editor\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSerdang \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini memenangi dua lagi anugerah dalam majlis Anugerah Buku Negara yang berlangsung di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) sempena Ekspo Buku Malaysia dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022. Kemenangan ini secara tidak langsung dapat menyuntik motivasi kepada penulis dan editor untuk sama-sama berganding bahu menghasilkan karya yang bermutu.\nAnugerah yang dimenangi adalah bagi kategori Buku Umum Terbaik (Pendidikan), iaitu buku bertajuk Pendidikan untuk Semua tulisan Dr. Mazlee Malik, dan Anugerah Buku Umum Terbaik (Koleksi Fotografi), iaitu buku Anak Gunung Selat Sunda tulisan Profesor Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom.\nBuku Pendidikan untuk Semua merupakan kompilasi ucapan penulis sebagai Menteri Pendidikan dalam tiga bahasa, iaitu Melayu, Inggeris dan Jerman. Menurut editor buku tersebut, Encik Armin Azahari, anugerah ini menjadi bukti bahawa adunan antara penulis dengan editor mampu menghasilkan karya yang berkualiti.\n\u201cAnugerah ini\u00a0seharusnya menjadi motivasi kepada penulis untuk menghasilkan karya yang lebih baik.\u00a0Editor akan turut berasa gembira apabila\u00a0melihat sesebuah buku yang diusahakannya meraih kejayaan,\u201d katanya.\nOleh itu, menurutnya, penulis secara umumnya mesti bersedia untuk mendengar pandangan editor. Manuskrip yang dihantar oleh penulis tidak semestinya telah lengkap, malah lazimnya ada ruang untuk penambahbaikan dan pemurnian. Penulis juga perlu bersedia untuk mengadakan sesi libat urus dengan editor, sebaik-baiknya secara bersemuka. Pada masa yang sama, penulis perlu memahami kekangan yang dihadapi oleh editor yang menyebabkan manuskripnya tidak dapat diurus dengan segera.\nSementara itu, editor buku Anak Gunung Selat Sunda, Puan Rabaah Jaafar berkata, keistimewaan buku tersebut terletak pada gambar yang berkualiti dan kandungan teks yang dapat memberikan maklumat tentang negara jiran Malaysia, iaitu Indonesia dari segi kebudayaan dan pelancongan. Teksnya merupakan catatan pengalaman penulis yang telah lebih 40 kali mengunjungi Indonesia, antaranya termasuklah Jakarta, Yogyakarta, Medan, Makasar dan Banda Aceh.\nMenceritakan tentang pengalaman bersama-sama penulis sepanjang mengendalikan buku tersebut, beliau berkata, penulis seorang yang komited, sangat mesra dan mudah dibawa berbincang, teliti serta sangat mengutamakan kualiti gambar. Penulis dengan foto ibarat lagu dan irama. Beliau kagum melihat koleksi foto penulis dari tahun 2004 hingga tahun 2019 yang masih tersimpan elok untuk penerbitan buku tersebut.\n\u201cAnugerah Buku Negara merupakan pengiktirafan kepada karyawan dalam bidang penerbitan. Hal ini dapat memberikan motivasi kepada editor dan penerbit untuk sentiasa membantu dan memberikan galakan kepada penulis untuk menghasilkan karya yang bermutu,\u201d katanya.\nAnugerah tersebut telah disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Profesor Adjung Universiti Putra Malaysia (UPM) merangkap Pengerusi Alam Flora Sdn. Bhd. Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, kerjasama dan kesepakatan sangat perlu bagi memastikan hasrat membudayakan semangat cinta akan buku ilmiah terus membara. Pada masa yang sama, penyampaian Anugerah Buku Negara kepada penggiat penulis buku dan kreatif merupakan pengiktirafan kepada mereka yang berjaya menghasilkan karya yang bermutu tinggi.\n\u201cIlmu ini perlu dimafaatkan ke arah kemanfaatan dan kesejahteraan. Dalam Islam juga telah digalakkan pencarian ilmu sebagai teras pembangunan dan kejayaan manusia. Dalam konteks ini, penulisan dan perbukuan ilmu merupakan perkara yang cukup penting untuk menjadikan bukan sahaja manusia, tetapi peradaban sesuatu bangsa dan negara,\u201d katanya.\nTurut hadir pada majlis tersebut ialah YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN); YH Profesor Dato\u2019 Dr. Mohd Roslan Sulaiman, Naib Caselor Universiti Putra Malaysia (UPM); YBhg. Profesor Ir. Ts. Dr. Mohamed Karim Haji Sultan, Pengerusi Program Ekspo Buku Malaysia dan Persidangan Buku Antarabagsa 2022, dan YBhg. Datuk Dr. Roslan Basaruddin, Pengarah Ekspo Buku Malaysia dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022." "Berusaha ke Arah Keterangkuman \u2013 Titah DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBersempena dengan Ekspo Buku Malaysia dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022 bertempat di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan berangkat menzahirkan titahnya.\nDalam majlis tersebut, baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) kerana memilih buku Striving for Inclusive Development: From Pangkor to a\u00a0Modern Malaysian State, terbitan Oxford University Press pada tahun 2019, untuk penulisnya diperakui sebagai penerima Anugerah Perdana: Tokoh Penulis Diraja.\nYang berikut diperturunkan titah baginda.\nBismillahirahmanirahim.\nAssalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.\nHasil karya penulisan DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, buku Striving for Inclusive Development: From Pangkor to a Modern Malaysian State dan Charting the Economy.\nDari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:\nApabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: pertama, sedekah jariah; kedua, ilmu yang dimanfaatkan; dan ketiga, anak soleh yang mendoakan untuknya.\nSemoga Allah SWT\u00a0melimpahkan berkat kepada usaha yang beta rintis dan menerimanya sebagai usaha yang memiliki unsur-unsur keilmuan.\nSejambak melati ayahanda suntingkan,\n\u00a0 \u00a0 Buat anakanda pewaris watan;\nSejarah negara ayahanda paparkan,\n\u00a0 \u00a0 Moga anakanda jadikan pedoman.\n\u201cThe paramount challenge facing the country is that of becoming a cohesive society which offers all of its citizens a voice, respects and celebrates diversity, and places effective checks on those entrusted with power. To these ends, institutions must build trust, operate for the benefit of the people, and be accountable to the whole nation. Political power must be more widely distributed and decentralized, so as to reduce the chances of malfeansance and abuse\u201d.\nFirman Allah SWT dalam Surah Hud, ayat 118 dan 119 bermaksud:\nDan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. \u00a0(Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama ALLAH); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia.\nAyat 13, surah al-Hujurat bermaksud:\nWahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah mencipta kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). \u00a0Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).\nBalasan yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Mendengar Maha Mengetahui.\nPertama: Menidakkan ciptaan dan perintah Ilahi.\nKedua: Bercanggah dengan semangat yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.\nKetiga: Mengetepikan keadilan.\nWabillahi taufik wa al-hidayah,\nWassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.\nDemikianlah titah DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam majlis tersebut yang berlangsung pada 24 Ogos 2022. Semoga titah baginda ini dijadikan pedoman oleh seluruh Keluarga Malaysia." "Wanita Penyumbang Kejayaan Pembangunan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 \u201cKomitmen, kesabaran dan kecekalan individu bernama wanita sebagai seorang isteri, ibu, anak, kesemuanya melengkapi dirinya sebagai seorang wanita yang berjiwa besar, yakni memberikan inspirasi kepada semua.\u201d\n\u201cTiada siapa yang dapat menyangkal betapa pentingnya peranan golongan wanita dalam mengait dan menyulam kisah kejayaan sesebuah keluarga, masyarakat mahupun negara.\u201d\nRaja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa peranan dan sumbangan yang dimainkan oleh wanita dalam pembangunan negara begitu besar dan tidak ternilai harganya.\nDemikianlah titah baginda ketika berkenan menyempurnakan perasmian Pembukaan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF): Women in Search of Excellence Siri Ke-12 bertajuk Women as Frontiers of Society, anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama YTF pada pagi tadi.\nSepanjang tempoh webinar itu berlangsung, baginda menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian kaum wanita yang dilihat semakin hari semakin ramai bilangannya yang mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang, sama ada di dalam negara mahupun di luar negara.\n\u201cWanita pada hari ini sememangnya memainkan peranan besar dan telah banyak menyumbang terhadap pembangunan negara. Wanita merupakan satu daripada tonggak pembangunan negara yang paling penting bukan sahaja dari segi aspek sosial, politik dan ekonomi, malah merangkumi segala aspek pembangunan negara,\u201d titah baginda.\nTuanku Raja Muda yang juga merangkap Penasihat Di Raja Yayasan Tuanku Fauziah percaya bahawa pelibatan wanita dalam organisasi pentadbiran dalam pelbagai peringkat dapat membawa perubahan yang besar terhadap dasar dan undang-undang, dan sekali gus menyumbang kepada pembangunan keluarga, masyarakat, negeri dan negara.\nTerdahulu, Pengerusi Webinar, Profesor Madya Dr. Saidatulakmal Mohd. dan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Profesor Dato\u2019 Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan menyampaikan ucapan alu-aluan.\nUcaptama bertajuk \u201cPeranan Wanita dalam Masyarakat\u201d disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlinda Azman yang disusuli dengan forum bertopik \u201cWanita Perkasa Era Digital\u201d dikongsi oleh senarai panel hebat terdiri daripada Profesor Emerita Datuk Dr. Asma Ismail, FASC, Profesor Emerita Dato\u2019 Dr. Rashidah Shuib dan Puan Ong Bee Leng, FASC.\nWebinar tersebut ditutup oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pengerusi YTF pada sebelah tengah harinya." "Enam Inti Pati Resolusi Rancakkan Lagi Industri Perbukuan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSerdang \u2013\u00a0 Resolusi sempena program Ekspo Buku Malaysia 2022 dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022 telah dibentangkan di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) petang tadi. Ekspo dan persidangan tersebut telah berlangsung dengan jayanya selama empat hari mulai 22 Ogos lalu.\nResolusi tersebut dibentangkan dalam majlis penutupan program oleh Prof. Dato\u2019 Dr. Abdul Mua\u2019ti @ Zamri Ahmad yang merupakan Pengarah Pusat Strategik dan Perhubungan Korporat UPM. Antara rumusan dan resolusi tersebut ialah:\nRumusan dan resolusi tersebut telah diserahkan oleh Dato\u2019 Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman, Naib Canselor UPM kepada Ybhg. Dato\u2019 Ts. Kamel Mohamad, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) untuk diserahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.\nTurut hadir dalam majlis penutupan tersebut ialah Ybhg. Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), dan YBhg. Prof. Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan, Pengerusi\u00a0 Program Ekspo Buku Malaysia 2022 dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022." "Peluang Kerjaya Wanita Tiada Batasannya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menegaskan agar masyarakat kini lebih cakna dengan isu yang menyentuh peranan wanita dalam membentuk negara yang maju.\n\u201cSumbangan wanita dalam pelbagai bidang haruslah diberi perhatian dan galakan supaya mereka terus menjadi pemangkin kepada pembangunan negara yang sejahtera, harmoni dan berdaulat,\u201d titah baginda dalam perasmian Penutupan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF): Women in Search of Excellence Siri Ke-12\u2019 bertajuk Women as Frontiers of Society, anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama YTF pada tengah hari tadi.\nDalam majlis perasmian tersebut, DYTM Raja Puan Muda Perlis menitahkan bahawa kecemerlangan wanita bukan hanya terbatas dengan aktiviti domestik, tetapi melangkaui batasan disiplin akademik sehingga berupaya melahirkan golongan wanita profesional yang menjadi pemimpin, penyelidik, usahawan, pembuat dasar serta individu berketerampilan unggul.\nBaginda berharap agar wanita di Malaysia terus dikurniakan keazaman yang\u00a0 jitu untuk melaksanakan peranan sebagai pemangkin kepada peningkatan taraf dan kualiti hidup masyarakat menerusi penglibatan dan sumbangan dalam pelbagai bidang dan ruang kehidupan. Bak kata pepatah, \u201ctangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia\u201d.\n\u201cWanita adalah tonggak kepada kemandirian pembangunan masyarakat yang harmoni dan sejahtera.\u201d\nWebinar tersebut disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlinda Azman dengan tajuk \u201cPeranan Wanita dalam Masyarakat\u201d. Seterusnya disusuli dengan forum \u201cWanita Perkasa Era Digital\u201d yang dikongsikan oleh senarai ahli panel hebat terdiri daripada Profesor Emerita Datuk Dr. Asma Ismail, FASC, Profesor Emerita Dato\u2019 Dr. Rashidah Shuib dan Puan Ong Bee Leng, FASC.\nMenariknya, pada akhir majlis, persembahan Gamelan oleh Dewan Budaya, USM dan tayangan Kompilasi Pencapaian dan Sumbangan Penyelidik Wanita di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, selain tayangan video khas \u201cWoman as Frontiers of Society\u201d." "Kunjungan Hormat FDAM ke DBP: Mengangkat Bahasa dalam Filem\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Filem merupakan wadah penterjemahan suatu gagasan yang dibawa oleh pengkarya yang menjadi cerminan bagi identiti sesebuah bangsa dan negara.\nSebagai kesannya, penggunaan bahasa atau lontaran dialog dalam sesebuah filem akan menterjemahkan budaya dan imej negara yang disegani.\nPada petang ini, bertempat di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) mengadakan kunjungan hormat bagi memperkukuh hubungan sinergi dalam usaha mempertahankan filem kebangsaan dalam bahasa Melayu.\nMenurut Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, usaha memartabatkan penggunaan bahasa Melayu bukan sahaja terletak pada bahu DBP, bahkan semua pihak termasuklah penggiat industri perfileman negara.\nTambahnya lagi, sebagai pusat khazanah ilmu, DBP sememangnya kaya dengan pelbagai terbitan buku, novel dan majalah yang boleh diadaptasikan dalam filem mengikut kesesuaian penerbit.\nSejak tahun 1956 hingga sekarang, DBP banyak menerbitkan pelbagai novel yang sesuai untuk diadaptasikan sebagai filem.\n\u201cAlhamdulillah, antara buku yang diadaptasi dan disiarkan dalam televisyen melalui drama dan filem, termasuklah Ayahanda, Korban Kasih, Pekan Kecil Kampung Terpencil dan Srengenge. Ternyata karya ini \u00a0mendapatkan sambutan yang menggalakkan, malah memenangi tiga anugerah, iaitu telefilem terbaik, pengarah telefilem terbaik dan penulis telefilem skrip terbaik.\nUjar YBhg. Datuk Abang Sallehuddin lagi,\nPenggiat seni wajar menitikberatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam setiap karya mereka kerana bahasa kebangsaan tidak sesekali menggugat prestasi dan kualiti cerita, malah diiktiraf untuk pasaran antarabangsa dengan nilai budaya dan bahasanya yang tersendiri.\nOleh itu, DBP sangat mengalu-alukan penerbit filem dan drama untuk\u00a0memanfaatkan karya terbitan DBP untuk diadaptasikan sebagai filem.\nSementara itu, Presiden FDAM, YBrs. Dr. Ahmad Ibrahim turut memandang serius terhadap penyelewengan bahasa seperti bahasa rojak, bahasa campuran dan bahasa asing yang digunakan tanpa memikirkan kesannya.\nMaka itu, sebagai \u00a0pengarah FDAM, beliau bertanggungjawab untuk menggerakkan platform pembudayaan bahasa dalam perfileman tempatan.\nTujuan pertemuan ini diadakan adalah untuk mencadangkan agar diadakan Seminar Nasional: Bahasa dalam Filem, selain kerjasama yang akan diperincikan dalam memorandum persefahaman yang bakal dimaterai kelak.\u201d\n\u201cSeminar itu perlu melibatkan semua stesen televisyen dan penggiat seni tempatan untuk menjayakan agenda memartabatkan bahasa Melayu, serta memastikan keberkesanan filem dalam mempengaruhi budaya sesebuah masyarakat.\nPada masa yang sama, beliau juga meletakkan keyakinan yang tinggi bahawa permuafakatan antara DBP, FDAM dengan stesen televisyen mampu merealisasikan pembudayaan bahasa Melayu yang betul dalam industri perfileman untuk dimanfaatkan oleh masyarakat, selain meningkatkan pasaran produk (filem dan drama) tempatan.\nYang turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Ahmad Hashim, Ketua Biro Kesejahteraan Sosial FDAM; Haji Mohamad Zaini Hassan, Ketua Sekretariat FDAM; Mohamad Letfee Ahmad, Ketua Biro Komunikasi dan Media FDAM; serta para pegawai kanan DBP." "Malaysia, Negara Pilihan Pelajar Indonesia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar\u00a0\u2013\u00a0Kedudukan geografi, persamaan bahasa dan budaya, kos yang berpatutan\u00a0dan kedudukan taraf universiti yang tinggi menjadikan Malaysia sebagai negara pilihan bagi pelajar Indonesia.\nMenurut Konsul Jeneral Republik Indonesia di Pulau Pinang, Bambang Suharto, secara puratanya, jumlah pelajar Malaysia yang belajar di Indonesia hanya satu pertiga berbanding dengan jumlah pelajar Indonesia yang belajar di Malaysia. Dari tahun 2015 hingga tahun 2021, jumlah pelajar Indonesia yang belajar di Malaysia adalah lebih daripada 9680 orang. Sementara itu, hanya kira-kira 3575 pelajar Malaysia yang menuntut di Indonesia.\nDalam majlis perasmian International Summit on Knowledge Advancements (ISKA) 2022, Bambang Suharto\u00a0memaklumkan bahawa kerjasama antara Indonesia dengan Malaysia dalam\u00a0bidang pendidikan memiliki cakupan yang sangat luas, yakni mulai dari peringkat individu, institusi\u00a0hinggalah ke peringkat kerajaan.\nAntaranya termasuklah kerjasama antara individu dengan institusi pendidikan tinggi, pertukaran mahasiswa apparenticeship ke Malaysia, pertukaran mahasiswa vokasional, pelatih guru dan juga pertukaran mahasiswa belajar di Malaysia.\nSeminar selama dua hari ini melibatkan penyertaan sebanyak 150 rektor dan kepimpinan Muhammadiyah dan Aisyah dari seluruh Indonesia yang diketuai oleh Ketua Umum Pimpinan Pusatnya, Profesor\u00a0Dr. KH. Haedar Nashir dan isterinya, Puan Noordjanah yang bertandang ke negeri Perlis.\n\u201cISKA 2022 sangat bermanfaat kerana merupakan platform bagi para ahli akademik, pelaku industri untuk berkongsi ilmu dan gagasan, memperluas jaringan, dan menyampaikan penemuan hasil penelitiannya dan menjejaki berbagai potensi lain yang bermanfaat bagi masa depan yang lebih baik.\u201d\nBambang Suharto turut merakamkan ucapan tahniah dan selamat maju jaya kepada Universiti Muhammadiyah Malaysia yang akan beroperasi di Perlis tidak lama lagi dan berharap agar seminar ini memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat, khususnya pelajar universiti.\nMajlis anjuran Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM)\u00a0telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Kangar, semalam." "Hari Terbuka PPD Menyemarakkan Transformasi Pendidikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKajang \u2013 Bersempena program Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan, orang ramai khususnya ibu bapa, komuniti dan pelajar dijemput untuk hadir memeriahkan Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tahun 2022, bermula dari 26 Ogos hingga 28 Ogos 2022.\nProgram yang diadakan secara serentak melibatkan 142 buah PPD di seluruh negara, merupakan satu daripada usaha kolaboratif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menjelaskan beberapa perkara yang telah, sedang dan akan diusahakan oleh pihak KPM dalam agenda memperkasa pendidikan negara melalui transformasi pendidikan.\n\u201cSaya telah menjelaskan satu persatu pertanyaan oleh ibu bapa, pentadbir sekolah, guru dan murid. Semoga penjelasan yang diberikan dapat memberikan kefahaman yang lebih jelas berkenaan perkara yang dibangkitkan, termasuklah pentaksiran dan penyelenggaraan sekolah,\u201d jelas Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin dalam sesi #tanyaDRJ pada petang tadi di Aula Perdana, PPD Daerah Hulu Langat.\nMenurut Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin, tujuan program ini adalah untuk merapatkan warga PPD dengan masyarakat, serta menyampaikan maklumat terkini dasar dan perkhidmatan pendidikan kepada pemegang taruh, pelanggan dan rakan strategik. Hari Terbuka PPD ini turut mengetengahkan bakat dan inovasi murid, serta guru melalui penerapan elemen Sekolahku SEJAHTERA.\nDalam sesi pertanyaan tersebut, YB Datuk Dr. Radzi Jidin turut menjelaskan berkaitan dengan ketetapan takwim persekolahan sesi 2023 yang bermula Mac adalah kekal seperti biasa. Hal ini dikatakan demikian selepas mengambil kira faktor dan melakukan perbincangan, serta penelitian yang mendalam.\nTambah beliau, antara sebab lain dikekalkan takwim adalah untuk memastikan tempoh calon SPM tamat peperiksaan SPM tidak terlalu jauh dengan tempoh mereka melanjutkan pengajian.\n\u201cPerkara ini penting supaya momentum untuk belajar masih ada,\u201c katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Hari Terbuka PPD Daerah Hulu Langat, yang bersaksikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kokurikulum) KPM, YBhg. Dato\u2019 Haji Pkharuddin Ghazali.\nMengulas lebih lanjut mengenai program Hari Terbuka PPD, beliau melihatnya sebagai platform baik untuk mengubah persepsi ibu bapa, guru dan semua pihak terhadap pengurusan PPD.\n\u201cBerilah kepercayaan kepada KPM untuk melaksanakan perubahan demi perubahan agar sistem pendidikan kita dapat bersaing seiring dengan negara-negara hebat yang lain,\u201d kata YB Datuk Dr. Radzi Jidin dalam meyakinkan semua orang untuk memperoleh kejayaan demi pewaris negara.\nSambutan Hari Terbuka PPD yang pertama kali diadakan di negara ini turut dimeriahkan lagi dengan pameran dari sekolah, PPD, rakan strategik, selain daripada reruai khidmat pelanggan, persembahan nyanyian dan pelbagai aktiviti pertandingan." "Anakanda-anakanda Raja Muda Perlis Berkenan Ketuai Program \u201cWalk for Life Keluarga Malaysia\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nChuping \u2013 Anakanda-anakanda Raja Muda Perlis, Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail berkenan berangkat mengetuai program berjalan kali \u201cWalk For Life Keluarga Malaysia\u201d bermula dan berakhir di Perkarangan Dewan Besar Felda Chuping, semalam.\nProgram tersebut dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Belia Negeri sempena Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2022 peringkat negeri Perlis pada 27 dan 28 Ogos 2022 dan juga sempena Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-65 pada 31 Ogos ini.\nAktiviti dimulakan dengan acara Senamrobik Perdana serta pelepasan program kayuhan berbasikal yang disempurnakan oleh Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra.\nPara peserta yang mengambil bahagian turut singgah menyaksikan pelbagai aktiviti belia yang dianjurkan pada hari yang sama sepanjang perjalanan termasuklah pertandingan tarik tali sebelum berakhir di lokasi Pertandingan Gubahan Tuala dan juga Pertandingan Khat di Dewan JKKR Felda Chuping." "Cabaran Telefon Pintar dan Amalan Membaca dalam Kalangan Kanak-kanak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCabaran globalisasi dan kepantasan teknologi digital masa kini telah menyebabkan buku kurang diminati berbanding dengan telefon pintar. Budaya cinta akan buku perlu dipupuk semula bagi mengelakkan kanak-kanak terpengaruh dengan telefon pintar yang menyajikan pelbagai permainan digital yang boleh diakses dengan mudah dan melalaikan mereka. Kanak-kanak juga akan mudah terpengaruh dengan penggunaan telefon pintar sekiranya ibu bapa sentiasa menggunakannya dalam tempoh 24 jam sehari.\nMinat membaca sangat penting untuk dipupuk dan dikembangkan pada peringkat awal kanak-kanak. Jika minat ini tidak dipupuk dan kanak-kanak didedahkan dengan telefon pintar sejak kecil, mereka tidak akan berminat lagi untuk membaca naskhah fizikal. Ibu bapa yang bijak dan faham tentang minat kanak-kanak yang ingin membaca tidak akan mendedahkan mereka dengan telefon pintar. Kajian menunjukkan minat kanak-kanak untuk membaca dan melihat gambar bermula pada usia empat hingga tujuh tahun. Oleh itu, minat ini perlu disemai dan kanak-kanak perlu dididik dan dibimbing supaya mereka terus berminat untuk membaca. Pendedahan pada peringkat awal adalah penting dan buku yang mempunyai jalan cerita, gambar dan ilustrasi yang menarik tentunya dapat memupuk minat anak-anak.\nMelalui pembacaan, kanak-kanak akan dapat memperkaya perbendaharaan kata, mendapat pengalaman daripada cerita dan seterusnya menjadikan amalan membaca sebagai suatu minat yang membahagiakan. Pembacaan mestilah diikuti dengan berfikir dan mengambil teladan daripada apa-apa yang dibaca. Begitulah kanak-kanak dapat membaca dan memahami isi cerita serta memahami maksud tersurat dan tersirat sesuatu bahan bacaan itu. Bacalah seribu buku supaya mendapat sejuta ilmu hasil daripada pembacaan yang tekun dan dapat mengisi masa lapang.\nIbu bapa juga boleh bercerita mengenai cerita dalam buku tersebut sambil mengajar anak-anak membaca dengan suku kata yang mudah serta ayat yang mudah dan pendek. Penulis dan pengkarya sastera buku cerita kanak-kanak pula perlu cuba berusaha menulis cerita mengikut zaman terkini yang mempunyai unsur humor, seni pantun dan gurindam, bahasa bersajak dan bersyair yang dapat menarik minat kanak-kanak untuk terus membaca. Sebagai penulis, seseorang itu perlu juga mengetahui jenis buku kanak-kanak yang mendapat tempat di pasaran. Penulis berperanan menjadikan buku sebagai daya penarik dengan ilustrasi serta gambar dan cerita yang menarik. Penerbit juga berperanan menerbitkan buku yang lebih sesuai dengan keadaan semasa termasuk isi kandungan dan bentuk buku tersebut.\nPenyair William Shakespeare pernah mengatakan bahawa:\nAku memuji orang yang dapat membaca dan selalu mengingati apa yang dibacanya, tetapi lebih ku puji lagi orang yang mengerti maksud apa yang dibacanya\n\u00a0\nDalam menyemai dan mendidik anak-anak supaya mempunyai minat membaca, ibu bapa seharusnya membawa anak-anak ke kedai buku, perpustakaan dan membeli buku yang mereka minati supaya minat membaca itu sentiasa kekal dalam diri mereka. Buku tersebut juga mestilah sesuai dengan peringkat umur mereka.\nBuku-buku yang baik bukan sahaja dapat memberikan ilmu, pendidikan dan pengajaran malah dapat dijadikan panduan dalam kehidupan. Berilah galakan dalam bentuk hadiah jika anak-anak dapat membaca lebih banyak buku dalam sehari, seminggu atau sebulan, dan hadiah tersebut boleh juga diberikan dalam bentuk buku.\nAmalan membaca mestilah ditanam dalam hati dan jiwa anak-anak. Oleh itu, anak-anak yang minat membaca dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah daripada melepak dan merayau tanpa arah tujuan.\nSebagai ibu bapa, kita berperanan mendidik anak-anak dengan membaca buku yang sesuai dengan peringkat umur mereka. Jangan sesekali mendedahkan mereka dengan telefon pintar pada setiap masa sehingga menyebabkan mereka tidak lagi mempunyai minat untuk membaca buku yang sesuai dengan perkembangan mental dan sosial mereka.\nKuat dan jayanya sesuatu bangsa ialah kerana banyak masyarakatnya yang membaca buku yang berilmu. Pembacaan akan memacu ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam kehidupan. Ilmu yang diperoleh melalui pembacaan buku lebih kekal dan mudah diperoleh kembali melalui pembacaan bagi kanak-kanak.\nOleh itu, anak-anak sewajarnya dididik, dibimbing dan digalakkan bagi mempunyai jiwa insani yang cinta akan ilmu pengetahuan terutamanya melalui pembacaan buku yang bermanfaat. Perkembangan personaliti yang baik dapat dibentuk apabila kanak-kanak mempunyai minat untuk membaca buku." "\u062a\u064a\u0643\u0646\u0648\u0644\u0648\u06ac\u064a \u0627\u064a\u0631\u0627 \u062f\u064a\u06ac\u064a\u062a\u0644 \u0645\u0648\u0631\u0646\u0627\u0621\u064a \u062a\u0648\u0644\u064a\u0633\u0646 \u062c\u0627\u0648\u064a\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Perlis Bina Sukan Panjat Tembok Pertama di Gua Kelam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 HerMission House Extreme Sport Club dan HerMission House Sdn.\u00a0Bhd.\u00a0dengan kerjasama Persatuan Mendaki Negeri Perlis (Perlis Climbers) telah menganjurkan pertandingan mendaki \u201cNorth Wall 1.0:\u00a0Rock Climbing Competition\u201d pada 27 dan 28 Ogos 2022 di Bukit Keteri, Chuping, Perlis.\nRaja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan majlis penutupan dan penyampaian hadiah disertai oleh puteri kedua Tuanku Raja Muda,\u00a0iaitu Sharifah Farah Adriana Jamalullail berserta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Asmaiza Ahmad.\nKeberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah HerMission Sdn. Bhd., Sharifah Nadiah Wafa Syed Mohd Thalal Wafa.\nSebanyak 68 peserta mewakili 34 buah pasukan dari seluruh Malaysia mengambil bahagian dalam pertandingan yang julung-julung kalinya diadakan ini. Selain peserta tempatan, pendaki antarabangsa dari Perancis, Kanada, Poland, Romania dan juga negara jiran Thailand juga turut menyertai pertandingan ini dan peserta yang paling muda direkodkan adalah pasukan wanita yang berusia sekitar 10 tahun dan 11 tahun, menurut Pengarah HerMission Sdn. Bhd.\nSelain itu, beliau juga turut berkongsi bahawa Bukit Keteri merupakan lokasi mendaki yang dijumpai sendiri oleh Tuanku Raja Muda Perlis ketika Mammut/Camp5 mengadakan ekspedisi bolting yang disertai oleh David Lama, Reini Scherer, Cedric Lachat dan lain-lain lagi pada tahun 2007. Baginda berserta Raja Puan Muda Perlis,\u00a0Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil adalah orang pertama yang mendaki bukit itu dan laluan tersebut kini dikenali sebagai laluan Tuanku.\nSejajar dengan wawasan Raja Muda Perlis untuk meletakkan Perlis di persada sukan panjat batu dunia, MyUS Venture Partners Sdn. Bhd. membangunkan Perlis Rock Climbing Base Camp @ Gua Kelam bagi menarik lebih ramai pelancong untuk menyertai aktiviti memanjat batu dan pengembaraan di negeri Perlis. Lokasi tersebut dipilih kerana terkenal dalam kalangan penggiat aktiviti memanjat batu. Kem yang akan dibangunkan dapat menempatkan 40 buah bilik yang boleh memuatkan empat orang sebilik dan 10 khemah premium dijangka akan memulakan operasi pada Disember 2022.\nTahun lalu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menganggarkan terdapat lonjakan aktiviti luar di seluruh negara memandangkan kesedaran tentang kesihatan dan kesejahteraan kian meningkat dalam kalangan pengunjung tempatan dan asing. Hal ini terbukti apabila terdapat peningkatan dalam aktiviti pelancongan yang berkaitan dengan alam sekitar seperti perkhemahan mewah\u00a0(glamping), merentas hutan\u00a0(jungle trekking), sukan air, berbasikal serta aktiviti mendaki. Untuk rekod, sukan memanjat atau lebih dikenali sebagai sukan climbing merupakan sejenis sukan ekstrim yang telah bertapak di Malaysia sekitar tahun 1998. Terdapat dua kategori sukan memanjat secara amnya,\u00a0iaitu daki tembok\u00a0(rock climbing)\u00a0dan panjat tembok (wall climbing)." "Sebanyak 68 Pendaki dari Seluruh Negara Menyertai Pertandingan Mendaki Tembok di Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBukit Keteri \u2013 Pengarah HerMission Sdn. Bhd., Sharifah Nadiah Wafa Syed Mohd Thalal Wafa memaklumkan sebanyak 68 peserta mewakili 34 buah pasukan dari seluruh negara telah mengambil bahagian dalam Pertandingan North Wall 1.0: Rock Climbing Competition 2022, termasuklah pendaki dari Perancis, Kanada, Poland, Romania dan Thailand.\nBeliau merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada pasukan teknikal pertandingan dari Persatuan Mendaki Negeri Perlis (Pendaki Perlis) serta para penaja utama, iaitu The North Face, Crux Particle, GoPro, Persatuan Mendaki Negeri Kedah, Studio Potret, Rock UniMAP, Delta Rovers, Wonderwall dan Hyper Hold.\nPetang semalam, bertempat di Bukit Keteri, Chuping, Chai Sze Wai dan Kok Jia Yu telah muncul sebagai johan dalam pertandingan anjuran HerMission House Extreme Sport Club dan HerMission House Sdn. Bhd.\nAhmad Kamil Mazlan dan Ammar Faiz Abdul Taib bagi Pasukan Lelaki dan Chai Sze Wei sendiri bagi wanita individu mengungguli juara dalam kategori masing-masing.\nTempat kedua pula dimenangi oleh Najaa Abdul Wahab dan Andrian Mohd. Yusof (Pasukan Campuran), Amir Farhan Azmi dan Gan Shih Chau (Pasukan Lelaki) dan Tai Chew Yee (Individu Wanita).\nMajlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.\n\nTurut menyampaikan hadiah di majlis perasmian penutupan dan penyampaian hadiah tersebut ialah puteri kedua Tuanku Raja Muda, iaitu Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Asmaiza Ahmad.\nBukit Keteri merupakan destinasi daki tembok terkenal dan pernah didaki dan telah dipasang dengan bolts pada 50 laluan mendaki dari 5A hingga 8C oleh pendaki tersohor dunia, seperti mendiang David Lama, Reini Scherer, Anna Stohr dan Katharina Saurwein dari Austria, Cedric Lachat dan Christina Schmid dari Switzerland, serta Juliane Wurm dari Jerman." "Raja Muda Perlis Mencemar Duli Sertai Program Kayuhan Berbasikal Keluarga Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nChuping \u2013 Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengambil bahagian dalam \u201cProgram Kayuhan Berbasikal Keluarga Malaysia, Teguh Bersama MAIPs Peduli\u201d sempena Sambutan Hari Belia Negara 2022 Peringkat Negeri Perlis yang bermula dan berakhir di Felda Chuping, Perlis baru-baru ini.\nProgram tersebut dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Perlis sempena Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2022 Peringkat Negeri Perlis.\n\nMengiringi baginda ke program yang diurussetiakan oleh Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) itu ialah Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pembangunan Belia) Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Dr. Zainah Shariff, ketua-ketua jabatan serta agensi negeri dan Persekutuan.\nUpacara pelepasan disempurnakan oleh anakanda-anakanda baginda, Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.\n\u00a0\nSempena program yang disekalikan dengan aktiviti MAIPs Peduli bilangan ke-60 bagi tahun 2022, Tuanku Raja Muda berkenan menyantuni dan menyampaikan agihan zakat MAIPs kepada Yop Kassim, 72 tahun dari Kampung Kok Klang; Yusof Ibrahim, 51 tahun dari Kampung Padang Lengkuas dan Ismail Mat Hassan, 84 tahun dari Blok 9, Felda Chuping. Masing-masing menerima RM700 setiap seorang.\n\u00a0\nBaginda turut berkenan mencemar duli bagi menyaksikan pertandingan tarik tali di Padang Felda, permainan tradisional guli dan congkak, pertandingan menghias tuala yang dianjurkan sempena program tersebut serta meninjau Shah Stable, iaitu sebuah kandang kuda.\n\u00a0\nMenyentuh mengenai sambutan Hari Kebangsaan ke-65 pada 31 Ogos ini, Tuanku Raja Muda menitahkan supaya rakyat bersama-sama menghayati dan menghargai nilai kemerdekaan dan memelihara kedaulatan negara ini untuk diwariskan kepada anak cucu kita dalam keadaan yang sebaik mungkin kelak." "Degup Denyut Anak Malaysia Menyambut Hari Kemerdekaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013\u00a0Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menganjurkan Program Bicara Malaysiana: Degup Denyut Anak Malaysia yang berlangsung di Menara PNM dan secara dalam talian melalui Youtube PNM.\nTokoh sejarawan negara yang dijemput untuk membuat perkongsian dalam sesi ini ialah YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali, Felow\u00a0Persatuan Sejarah Malaysia dan YBrs. Profesor Madya Dr. Zulkarnain Abdul Rahman, Ketua Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM) sebagai moderator.\nProgram tersebut diadakan bersempena bulan kemerdekaan bagi menghargai segala jerih perih nenek moyang dalam membangunkan watan ini. YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria telah menghasilkan karya beberapa karya, seperti Institusi Raja Melayu dalam Lipatan Sejarah Malaysia; Penerusan dan Perubahan, Pemberontakan Bersenjata 1948-1960 dan Republik Rakyat Malaya, Merungkai Cita dan Hasrat Sebenar Parti Komunis Malaya.\nBeliau menegaskan bahawa tarikh 31 Ogos 1957 merupakan hari apabila raja tidak lagi menuntut kedaulatan terhadap Tanah Melayu, dan merupakan satu tarikh tanah air dibebaskan daripada penjajah. Tarikh keramat itu juga dicatat dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan yang digubal dalam bahasa Inggeris sebagai Merdeka Day\u00a0dan setelah terbentuknya Malaysia pada 16 September 1963, termaktub pula dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai Malaysia Day.\nSetiap rakyat digesa untuk mengingati dan mengenang perjuangan nenek moyang dahulu dalam menegakkan maruah, jati diri dan kedaulatan negara.\nDalam pemilihan tarikh kemerdekaan, beliau\u00a0memaklumkan bahawa tarikh tersebut adalah dipilih oleh seorang ulama, Abdullah Ahim. Pada tahun 1980-an, rakyat pernah mempersoalkan tentang sebab dikekalkan saki-baki penjajah di tanah air dan beliau berpendapat hal tersebut merupakan satu bukti bahawa orang Melayu pernah menentang Portugis.\nKemudiannya, YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria turut berkongsi bahawa rombongan kemerdekaan dari Lapangan Terbang Sungai Besi ke Singapura dan ke Pelabuhan Tanjung Pagar ke Karachi, kemudian ke Kaherah dan seterusnya ke London telah mengambil masa selama dua minggu. Tuanku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr. Ismail, T.H. Tan, H.S. Lee, Dato\u2019 Nik Ahmad Kamil, Datuk Ahmad Aziz dan Abdul Kader menaiki kapal M.V. Asia dari Singapura, manakala Dato\u2019 Mohd. Seth dan Dato\u2019 Panglima Bukit Gantang Haji Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz bertolak ke London menaiki kapal terbang.\nDalam catatan Tuanku Abdul Rahman, beliau memilih jalan yang mengambil tempoh yang lama dan panjang kerana beliau memerlukan masa untuk berunding dan berbincang supaya keputusan yang dibuat setibanya di Kota London tidak bercanggah. Walaupun perbincangan dan rundingan tersebut dibuat dengan disertai oleh Raja-Raja Melayu sebelum perjalanan ke London bermula, proses tersebut amat penting bagi delegasi dari Tanah Melayu kekal sehati sejiwa dalam berhujah. Hal ini membuktikan bahawa Raja-Raja Melayu terlibat aktif ke arah mencapai kemerdekaan negara walaupun tidak berada di lapangan.\nRombongan kemerdekaan itu tiba di London pada 13 Februari 1956 dan mula berunding pada 18 Februari dan terhasilnya pernyataan yang ditandatangani oleh mereka yang terlibat dalam mesyuarat tersebut serta penubuhan Suruhanjaya Perlembagaan Tanah Melayu. Walaupun berhadapan dengan cabaran kewangan, rakyat Tanah Melayu sentiasa mempunyai semangat yang kuat untuk membebaskan tanah air mereka sehingga seorang tokoh wanita pernah berkongsi bahawa, \u201ckami menanggalkan subang di telinga, kami membuka rantai di leher, kami meloloskan cincin di jari manis, kami membuka gelang di tangan demi satu kebebasan.\u201d Dengan semangat dan jati diri \u201cTanah Airku Tanah Melayu\u201d, rombongan tersebut berjaya mengumpul dana dan bertolak ke London bagi meneruskan rundingan kemerdekaan.\nYBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria membahas tentang perjuangan kemerdekaan, beliau menceritakan pengorbanan dan perjuangan melalui perubahan dari tenaga fizikal oleh pejuang\u00a0tanah air seperti Rentap, Mat Kilau, Tok Gajah dan lain-lain menitis darah dan air mata ke tenaga otak,\u00a0iaitu melalui rundingan.\nHal ini membuktikan bahawa kemerdekaan Tanah Melayu bukanlah diperoleh melalui rundingan semata-mata, malah turut melalui perjuangan pahlawan tanah air yang terus berjuang menentang penjajah ke arah mendapatkan kemerdekaan yang dinikmati rakyat Malaysia hari ini." "Majlis Profesor UUM Promosi Gaya Hidup Sihat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSintok \u2013 Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (MPUUM) mempromosikan gaya hidup sihat dan ceria dalam Program 10000 Langkah Majlis Profesor UUM yang berlangsung di Pusat Sukan, pagi tadi.\nPengerusinya, Profesor Ts. Dr. Suhaidi Hassan ketika mengulas acara ini berkata, cetusan idea bermula daripada Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan dan inisiatif program \u201cKampus Sihat UUM Fit\u201d.\nOleh itu, MPUUM berpandangan inisiatif ini sebagai satu daripada usaha untuk merapatkan ukhuwah, di samping mewarnai Bulan Kemerdekaan kali ke-65, khususnya Hari Merdeka yang bakal disambut esok.\n\u201cSebagai tanda cinta negara, MPUUM menjayakan aktiviti santai yang menyihatkan, sekali gus membentuk warga kampus yang aktif dan produktif dalam menjalani kehidupan seharian,\u201d ujarnya.\nSementara itu, Profesor Dr. Abdul Halim Abdul Majid menyifatkan aktiviti ini merupakan satu program yang berjaya dan bersifat inklusif bukan sahaja melibatkan profesor, malah staf akademik dan pentadbiran UUM dari pelbagai jabatan yang memberi sokongan padu.\n\u201cSaya teruja kita dapat bersama-sama warga kampus menjayakan aktiviti riadah ini yang menyuntik semangat berpasukan dan menjaga kesihatan diri. Kami merakamkan jutaan terima kasih kepada warga kampus dengan semangat yang ditunjukkan,\u201d katanya.\nBeliau berharap hubungan baik dapat dijalin dan hubungan sedia ada dapat disemarakkan dan program seumpama ini wajar dilaksanakan dari semasa ke semasa dan mampu menyegarkan minda serta memperkasa semangat patriotik.\nDimulakan dengan acara pemanas badan, peserta yang telah mendaftar ceria merakam gambar kenang-kenangan dengan Jalur Gemilang sebelum mengatur langkah selain dapat disaksikan juga staf yang menyertai aktiviti kayuhan basikal." "Erti Kemerdekaan yang Perlu Difahami\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKedaulatan undang-undang dan pencabulan perjanjian oleh British dalam hubungan diplomatik dengan kerajaan Negeri Melayu sehingga penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 dan 1957.\nTanggal 31 Ogos .\nDalam dokumen perundangan yang membawa kepada laungan \u201cMerdeka\u201d, British tidak pernah meletakkan Negeri Melayu sebagai tanah jajahan, berbeza dengan kedudukan Negeri Selat.\nKenyataan Kerajaan British dalam Hansard Parlimen Britain ketika pembentangan Independence Bill 1957 menyatakan dengan tegas bahawa campur tangan British dalam hal ehwal Negeri Melayu bermula dengan perjanjian,\u00a0maka hubungan yang wujud perlu ditamatkan melalui perjanjian\u00a0juga.\nTerdapat tiga perjanjian penting pascaperjanjian awal yang ditandatangani oleh British dengan Raja-raja Melayu,\u00a0iaitu Perjanjian Negeri 1948, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.\nApabila British sendiri mengakui keperluan perjanjian baharu ditandatangani dengan setiap raja Melayu pada 5 Ogos 1957, yang dikenali sebagai Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, itu menunjukkan kedaulatan raja Melayu sejak perjanjian awal ditandatangani adalah kekal, tidak tersentuh sepanjang tempoh campur tangannya di setiap Negeri Melayu.\nPada sisi lain, apabila British melanggar mana-mana terma perjanjian awal dan hukum kanun Negeri Melayu (Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melayu) atau melakukan tindakan melampau daripada kuasa yang diberikan oleh perjanjian itu, maka perlanggaran tersebut merupakan pencabulan perjanjian yang menjadikan tindakan British itu tidak sah, atau boleh dicabar keabsahannya.\nPelanggaran perjanjian sedemikian tidak boleh dieksploitasi\u00a0sebagai satu keterangan yang menunjukkan raja Melayu tiada lagi kuasa kerana pernah tunduk kepada kehendak British apatah lagi dakwaan kononnya Negeri Melayu sudah dijajah atas alasan tersebut. Hal ini demikian kerana jika pencabulan yang berlaku itu dianggap suatu yang sah dilakukan dan kedaulatan Raja-raja Melayu sudah terlucut,\u00a0maka sudah pasti Independence Bill 1957 tidak perlu dibentangkan oleh Kerajaan British untuk mendapatkan kelulusan Parlimen Britain bagi membolehkan Ratu England menamatkan perjanjian \u00a0dengan Raja-raja Melayu.\nDokumen perundangan dan polisi yang diperkenalkan oleh British sebagai penasihat kesemuanya disebabkan melalui kuasa wibawa dan kedaulatan Raja-raja Melayu. Kedudukan tersebut tidak dipertikai oleh British,\u00a0malah terakam dalam laporan bertulis British,\u00a0termasuklah Laporan Reid.\nTerdapat pelbagai peristiwa yang menggambarkan kerakusan British ketika mencampuri hal ehwal adat Melayu tidak pernah mengakibatkan kedudukan British berubah daripada apa-apa yang termaktub dalam setiap perjanjian yang ditandatangani antara British dengan Raja-raja Melayu, sebaliknya tindakan mana-mana pegawai British itu boleh dipersoalkan.\nSudut pandang yang betul perlu dikembalikan agar kita dapat menghayati kemerdekaan sebenar yang diwarisi sejak daripada Kesultanan Melayu Melaka. Kebijaksanaan raja dan para pembesar Melayu serta keutuhan elemen watan tanah air Malaysia perlu dinobatkan agar setiap warganegara lebih menghayati jati diri\u00a0utuh\u00a0bangsa Malaysia dibina dengan penyertaan Sabah dan Sarawak.\nTarikh keramat, 31 Ogos merupakan ulang\u00a0tahun Hari Kebangsaan kita yang melahirkan bangsa Melayu yang terdiri daripada orang Melayu dan orang bukan Melayu. Tarikh 31 Ogos bukanlah semata-mata Hari Kemerdekaan yang membebaskan Pulau Pinang dan Melaka daripada penjajahan, namun 31 Ogos 1957 merupakan Hari Kebangsaan dan Hari Persekutuan Tanah Melayu.\nPenulis ialah Pengasas Jurisprudens Watan dan Profesor Madya di Fakulti Pengurusan Industri Universiti Malaysia Pahang." "Dirgahayu Tanah Airku\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nSetelah dua tahun menantikan sambutan Hari Kebangsaan yang diraikan pada 31 Ogos pada setiap tahun, dengan kali terakhir sambutan itu diadakan pada tahun 2017, pada pagi ini seluruh rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan ke-65 sama ada dengan turun ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur atau menghadiri sambutan yang diadakan\u00a0 pada peringkat negeri.\nKemeriahan Hari Kebangsaan 2022 yang bertemakan Keluarga Malaysia Teguh Bersama, bermula sebaik-baik sahaja detik 12.00 tengah malam 31 Ogos 2022 bermula apabila laungan merdeka kedengaran di banyak lokasi, antaranya termasuklah Putrajaya. Percikan bunga api di beberapa kawasan seperti di Selangor dan Kuala Lumpur\u00a0 turut menandakan penantian dan kerinduan rakyat terhadap sambutan Hari Kebangsaan.\nDi Kuala Lumpur, seawal pukul 8.00 pagi 31 Ogos 2022, lautan manusia dari pelbagai kaum, bangsa dan agama membanjiri Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya untuk meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2022 dengan menyaksikan acara perbarisan dan perarakan oleh hampir 20 ribu perserta daripada pelbagai kontijen yang mempamerkan komponen kenegaraan, barisan hadapan, urus tadbir negara, komponen Keluarga Malaysia, dan persembahan yang amat dinanti-nantikan, iaitu pertunjukan udara. \n\u201cAlhamdullilah, pada tahun ini, Keluarga Malaysia di seluruh negara kembali berpeluang meraikan sambutan kemerdekaan secara besar-besaran, sebagai sebuah masyarakat yang harmoni dan sejahtera,\u201d ucap Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, bersempena dengan perutusan Hari Kebangsaan 2022. \nBeliau yang turut mengajak rakyat Malaysia untuk tidak lupa akan sejarah mengingatkan agar semangat dan perjuangan yang wujud sejak dulu, khususnya dalam Rundingan Kemerdekaan pada tahun 1956, di Kota London terus mengalir dalam jiwa rakyat Malaysia. Nilai kemerdekaan inilah pada akhirnya yang telah berjaya memupuk perpaduan dalam kalangan Keluarga Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama, selain integrasi nasional dan silang budaya merentas Semenanjung, Sabah dan Sarawak.\nTiada ungkapan yang dapat dizahirkan untuk menggambarkan sanjungan dan rasa terima kasih ke atas perjuangan serta pengorbanan pejuang negara terdahulu termasuklah anggota keselamatan, tentera dan polis.\nTambah Perdana Menteri, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Rahmat dan nikmat kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini adalah hasil perjuangan titisan darah, keringat dan air mata. Tidak terhitung banyaknya nyawa yang terkorban dan tidak terkira nilai kerugian harta benda dalam mencapai sebuah erti kemerdekaan. Ketika perjuangan menentang penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris, dan Jepun, ramai pejuang yang aulia rebah demi mempertahankan pertiwi. Nama-nama seperti Mat Kilau, Datuk Dol Said, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Tok Gajah, Rentap, Datuk Maharajalela, Dato\u2019 Sagor, Haji Abdul Rahman Limbong, Datu Mat Salleh, Rosli Dhobi merupakan antara tokoh yang telah berkorban demi tanah air tercinta.\nMat Kilau pernah berpesan; perjuangan mesti diteruskan oleh generasi muda, jangan biar tanah air tergadai, jangan sesekali mudah dipicit sehingga terbelah dua. Kalau beragama, jangan sekadar pakaiannya (syariat), biar tentu bersih juga tubuhnya (hakikat). Kalau belajar, jangan sekadar ilmunya, biar tentu kukuh juga adabnya. Kalau beramal, jangan sekadar ayatnya, biar tentu juga berbulat dengan rahsia-Nya. Itulah antara amanat pahlawan Mat Kilau yang boleh dijadikan sebagai azimat.\nPada era modenisasi ini, Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa bentuk penjajahan tidak lagi sama seperti era kolonial. Justeru, jika kita tidak mempertahankan kemerdekaan yang diperjuangkan oleh wira-wira terdahulu, maka sejarah mungkin akan berulang dan kita kembali dijajah semula. Bentuk penjajahan moden yang muncul pada ketika ini dan semua negara di dunia terkena dampaknya, yakni penjajahan baharu dalam bidang ekonomi, teknologi dan budaya. Anasir luar ini menggunakan pelbagai cara untuk menjajah semula dalam bentuk yang lebih canggih. Meskipun ancaman penjajahan baharu ini bukanlah dari segi fizikal, namun sangat berbahaya dan merupakan cara yang paling mudah untuk menjarah minda dan jati diri bangsa, seterusnya mampu menghancurkan sesebuah negara.\n\u201cHanya rasa cinta akan negara membolehkan kita terus bekerjasama dan bersatu padu untuk mempertahankan nilai-nilai kedamaian, keamanan dan kemerdekaan bagi membangun dan menjaga kedaulatan kita. Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkeluarga, keluarga dilindungi; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan; sesungguhnya kita semua satu keluarga; Keluarga Malaysia penyambung warisan,\u201d ucap Perdana Menteri. \nMengimbas tarikh keramat 31 Ogos 1957, yang menyaksikan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan secara rasmi tepat pukul 9.30 pagi pada 31 Ogos 1957. Upacara Pemasyhuran Kemerdekaan ini berlangsung di Stadium Merdeka dengan disaksikan lebih daripada 20 ribu orang orang termasuklah Raja-raja Melayu, tetamu-tetamu khas dari luar negara, anggota-anggota kabinet Kerajaan Persekutuan dan rakyat jelata. Pada upacara bersejarah ini wakil Queen Elizabeth II, Duke of Gloucester menyerahkan Watikah Perlembagaan kepada Perdana Menteri yang menandakan berakhirnya naungan British ke atas Tanah Melayu. Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dibacakan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Selesai pengisytiharan dibaca, Tunku Abdul Rahman Putra melaungkan merdeka sebanyak tujuh kali dan disambut oleh ribuan rakyat yang membanjiri Stadium Merdeka. Upacara ini kemudiannya disusuli dengan seruan azan yang melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara yang baru merdeka, diikuti dengan acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu sambil diiringi dengan lagu kebangsaan Negaraku. Sebanyak 101 das tembakan meriam dilepaskan menandakan Persekutuan Tanah Melayu telah menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.\nPerjalanan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu bermula pada 18 Januari 1956 apabila Persidangan Meja Bulat antara wakil-wakil Kerajaan UMNO-MCA-MIC wakil Raja-raja Melayu dengan pegawai-pegawai dari Pejabat Tanah Jajahan British Lancaster House, London kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu diadakan. Delegasi menuntut ini diketuai oleh Ketua Menteri YTM Abdul Rahman Putra, Dato\u2019 Abdul Razak Hussein, Dr. Ismail Abdul Rahman, Kolonel H.S. Lee, Encik T.H.Tan Encik Bahaman Shamsuddin selaku Setiausaha Bersama. Manakala empat wakil bagi Raja-raja Melayu Dato\u2019 Panglima Bukit Gantang Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz, Dato\u2019 Nik Ahmad Kamil, Encik Abdul Majid dan Mohd. Seth Mohd Said. Persidangan yang berlangsung selama tiga minggu ini merundingkan beberapa kemerdekaan Tanah Melayu, hal-hal kewangan, pentadbiran, keselamatan dalam negeri, pertahanan dan hal-ehwal Jawatankuasa Bebas Kemerdekaan bagi mengkaji semula perlembagaan mengenai kedudukan Melayu yang perlu dikekalkan. Misi rombongan menuntut kemerdekaan berjaya mendapatkan persetujuan Kerajaan British untuk memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu.\nPada hari ini, kita menghela nafas 65 tahun merdeka. Cabaran yang datang silih berganti menjadikan kita lebih matang, utuh dan kukuh. Kita tidak akan dapat mempertahankan, membangunkan, memajukan dan memakmurkan negara ini secara bersendirian. Maka itu, di bahu setiap warganegara Malaysia harus memikul tanggungjawab yang sama, iaitu menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara ini agar perjalanan Keluarga Malaysia menuju negara maju yang mampu bersaing dan disegani di persada dunia mampu digenggam bersama-sama. Ayuh Keluarga Malaysia kita \u00a0teguh bersama. Merdeka! Merdeka! Merdeka!" "Raja Muda Perlis Ketuai Program Kayuhan Cakna Merdeka ke Hat Yai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nHat Yai \u2013\u00a0Sebanyak 65 peserta termasuk Raja Muda Perlis,\u00a0DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengetuai program berbasikal \u2018Kayuhan Cakna Merdeka\u2019 sempena Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-65.\nKayuhan sejauh 20 kilometer diadakan sekitar Klonghae, Hat\u00a0Yai,\u00a0Thailand merupakan kali ke lima program yang sama dianjurkan. Sebelum ini, program sebegini\u00a0telah dilaksanakan di Satun (tahun 2015), Pak Bara (tahun 2017), Songkhla (tahun 2018) dan Chenak (tahun 2019). Pada tahun lalu,\u00a0program ini dijayakan di Pulau Pinang.\nYang menariknya, jumlah peserta sebagai simbolik 65 tahun kemerdekaan itu turut disertai oleh ketua agensi negeri dan juga persekutuan,\u00a0serta swasta Perlis.\nMenyambut dan mengiringi sama keberangkatan baginda ialah Datuk Bandar Klonghae Sunti Hemmun, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Mohd.\u00a0Rizuan Abd.\u00a0Yazid dan mantan Timbalan Ketua Polis DiRaja Thailand bagi Region 9, Mejar Jeneral Polis (Bersara) Datuk Pichate Pitisathepan.\nLaungan keramat \u201cMerdeka\u201d\u00a0sebanyak tujuh kali diketuai oleh Konsul Jeneral\u00a0Mohd.\u00a0Rizuan dan disahut oleh peserta berkumandang dengan penuh bersemangat dalam program yang dianjurkan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) ini.\nTuanku Raja Muda sempat mengajak semua supaya berdoa ke hadrat Allah SWT supaya rakyat dan negara kita Malaysia sentiasa berada di bawah perlindungan-Nya dan diberi taufik serta hidayah oleh-Nya dalam menjalankan tugas dan kehidupan seharian.\nDalam program kayuhan itu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra dan peserta turut singgah melawat ke Tessaban 1 Klong Hae Atchariya School. Mereka disambut dengan penuh semangat silaturahim antara dua negara berjiran oleh pengetuanya,\u00a0Banhan Jitwang,\u00a0serta 800 pelajarnya dan Rumah Kraf Kampung berupa industri membuat sangkar burung dalam kalangan komuniti setempat di Nongsai dan ditunjukkan demonstrasi membuatnya oleh pengurusnya,\u00a0Yud Bilkordem.\n\nDua persinggahan terakhir ialah di pekarangan Pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla bertemu dengan Yang DiPertua serta ahli-ahli Majlis dan juga Pejabat Datuk Bandar sendiri.\nKayuhan dimulakan dan berakhir di kawasan Pasar Terapung Klonghae yang terkenal dalam kalangan pengunjung Malaysia yang berkunjung ke destinasi pelancongan negara tersebut." "Tipu Helah di Sebalik Rawatan Bomoh\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nFenomena aktiviti perbomohan telah lama wujud di seluruh dunia, termasuklah di Malaysia. Istilah lain yang banyak digunakan untuk bomoh ialah dukun. Di Indonesia, istilah dukun merujuk pada aktiviti rawatan penyakit fizikal mahupun bukan fizikal atau permasalahan yang disebabkan oleh gangguan makhluk ghaib.\nMarcel Radhival atau dikenali sebagai Pesulap Merah merupakan seorang \u201cYoutuber\u201d dan ahli silap mata dari Indonesia yang baru-baru ini popular kerana berjaya membuka rahsia rawatan yang dilakukan oleh beberapa orang bomoh di Indonesia. Menurut beliau, banyak bomoh yang merawat gangguan makhluk ghaib di Indonesia menggunakan tipu helah ilmu silap mata pada masa kini. Seorang daripada pengamal rawatan tradisional yang dibuka tipu helahnya ialah Gus Samsudin, pemilik padepokan Nur Dzat Sejati di Blitar, JawaTimur, Indonesia. Konflik antara Pesulap Merah dengan Gus Samsudin telah menarik Persatuan Dukun Nusantara (Perdunu) dalam permasalahan ini. Perdunu didirikan pada 3 Februari 2021 di Banyuwangi, JawaTimur, Indonesia dengan tujuan memperkenalkan profesion bomoh atau paranormal dan ilmu-ilmu ghaib kepada masyarakat, serta melawan pandangan negatif yang berkaitan dengan profesion dukun oleh masyarakat. Pihak Perdunu telah membuat laporan polis berkaitan dengan Pesulap Merah kerana usaha untuk membuka tipu helah rawatan bomoh tersebut menyebabkan penurunan pendapatan mereka. Laporan polis tersebut dibuat berdasarkan tuduhan bahawa Pesulap Merah telah memburukkan profesion bomoh apabila hal tersebut melanggar pasal 45 ayat 3 Undang-undang Informasi dan Transaksi Elektronik (ITE) No. 19 Tahun 2016 berkaitan dengan fitnah terhadap individu atau kumpulan.\nPerkara ini menjadi sangat menarik kerana sebelumnya para bomoh tersebut berjaya meyakinkan para pengguna khidmat mereka bahawa mereka mampu membantu memajukan perniagaan. Ironinya, ketika para bomoh ini menghadapi masalah penurunan pendapatan, mereka tidak mampu menyelesaikannya bahkan membuat laporan polis kepada individu yang diduga menjadi punca penurunan pendapatan mereka.\nBerkaitan dengan rawatan bomoh, kerajaan Indonesia memiliki undang-undang yang berkaitan dengan penipuan dalam rawatan bomoh yang terkandung dalam Kitab Undang-undang Hukum Pidana (KUHP) perkara 545, 546, dan 547. Perkara 545 menyatakan bahawa adalah salah untuk mengambil kesempatan atas kepercayaan orang ramai terhadap perkara-perkara ghaib sehingga perbuatan itu dianggap merendahkan Tuhan, dan memperdayakan mangsa dengan rawatan tipu daya seperti perbuatan meramal nasib. Perkara 546 menjelaskan tentang kesalahan berjual beli azimat serta mengajar ilmu untuk mengelakkan bahaya semasa melakukan perbuatan jenayah. Perkara 547 juga menyatakan adalah salah menggunakan azimat semasa memberikan keterangan di mahkamah.\nRawatan bomoh pada masa ini disokong juga oleh kehadiran media sosial terutamanya YouTube. Melalui media YouTube, masyarakat dapat mengetahui pelbagai rahsia tipu helah yang berlaku dalam rawatan bomoh. Satu daripada bukti bahawa rawatan bomoh banyak menggunakan tipu helah dibuktikan oleh seorang ahli silap mata ternama daripada Amerika, iaitu James Randi. Beliau telah memberikan cabaran dan hadiah wang sebanyak A.S.1 000 000 kepada semua bomoh dari seluruh dunia yang dapat menunjukkan bukti kekuatan supernatural yang dimiliki kepadanya. Bomoh dari seluruh dunia yang ditemuinya terbukti kesemuanya menggunakan tipu helah.\nTipu helah dalam rawatan bomoh bukan sahaja wujud di Indonesia, tetapi hampir di seluruh dunia. Walaupun di Malaysia belum terdapat kes tipu daya bomoh seperti di Indonesia, seperti berdasarkan pengalaman James Randi ini, namun dapat dijangkakan terdapat beberapa rawatan bomoh di Malaysia juga menggunakan tipu helah silap mata. Oleh sebab itu, pendidikan kesedaran mengenai tipu helah dalam rawatan bomoh perlu diberikan kepada masyarakat di negara ini.\nAntara tipu helah dalam rawatan bomoh yang wujud pada masa ini adalah:\nTipu helah yang digunakan dalam proses rawatan bomoh kebiasaannya menggunakan teknik silap mata yang kerap digunakan dalam persembahan ahli silap mata. Teknik silap mata seperti menangkap jin dalam botol, tanah mengeluarkan api, tisu atau kertas terbakar, tangan mengeluarkan asap, memuntahkan darah, dan kaedah bedah batin ialah dengan menggunakan bahan kimia. Teknik memindahkan penyakit ke objek seperti telur, buah kelapa, api keluar daripada tangan bomoh, kebal senjata tajam, benda-benda pelik keluar daripada mulut bomoh, keris dapat berdiri atau terbang pula ialah dengan menggunakan teknik dan peralatan yang biasa digunakan dalam persembahan silap mata. Masyarakat awam yang tidak terbiasa dengan teknik, peralatan dan bahan-bahan kimia yang digunakan dalam persembahan silap mata ini mudah menjadi mangsa penipuan para bomoh yang tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Tambah malang, terdapat beberapa orang bomoh turut menggunakan aspek agama bagi menarik minat dan meyakinkan mangsanya.\nKita tidak mengatakan bahawa sesuatu yang ghaib itu tidak ada. Perkara ghaib itu tetap wujud tetapi tidak mudah untuk membuktikannya. Sememangnya terdapat bomoh yang memiliki kemampuan ghaib, tetapi kebiasaannya kemahiran tersebut tidak dipertontonkan untuk tujuan menarik minat dan mendapatkan keuntungan daripada orang lain. Bomoh yang memiliki kemampuan ghaib sebenar kebiasaannya tidak menetapkan jumlah bayaran tertentu untuk pesakitnya, bahkan sering kali khidmat yang diberikan adalah percuma. Oleh sebab itu, pendedahan tipu helah oleh bomoh ini dapat memberikan pengajaran dan kesedaran kepada masyarakat di Malaysia supaya lebih berhati-hati dan bijak ketika berjumpa untuk mendapatkan bantuan daripada bomoh. Masyarakat diharapkan tidak mudah percaya kepada bomoh yang menunjukkan kemampuan ghaibnya kepada awam, terutamanya bomoh yang mempromosikan perkhidmatannya melalui media sosial seperti YouTube, TikTok, Instagram, dan sebagainya.\nPihak berwajib seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) , Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNHEP) digesa untuk mengambil berat permasalahan ini bagi melindungi rakyat Malaysia daripada menjadi mangsa tipu helah golongan bomoh yang tidak bertanggungjawab ini. Kerugian yang diakibatkan oleh jenayah ini bukanlah kecil, kerana bukan sahaja boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit, malah sehingga ke angka ratusan ribu ringgit.\nProf. Madya Dr. Yohan Kurniawan, Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK)" "Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan 2022 Bermula September Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) bagi tahun 2022 akan dilaksanakan bermula dari 12 hingga 14 September 2022. Sebanyak 7720 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan ulangan tersebut yang akan diadakan di 209 buah pusat peperiksaan di seluruh negara. Sebagai usaha untuk memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan tersebut berjalan lancar, sebanyak 1317 orang petugas peperiksaan telah dilantik untuk Ujian Bertutur Bahasa Melayu dan sebanyak 1441 orang petugas peperiksaan telah dilantik bagi Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Ujian Bertulis.\nOleh itu, LP ingin mengingatkan semua calon peperiksaan SPMU tahun 2022 untuk merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat berkaitan dengan tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan tersebut berlangsung. Calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.\nJadual waktu peperiksaan SPMU tahun 2022 dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan boleh dimuat turun dari laman rasmi Lembaga Peperiksaan.\nCalon juga diminta untuk mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan oleh LP bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPMU pada tahun ini." "Majlis Bandar Raya Pulau Pinang Memartabatkan Bahasa Melayu di Tempat Awam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\nGeorge Town \u2212\u00a0Keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, bahasa negara dan bahasa ilmu seperti yang dimaktubkan sebagai tonggak utama Perancangan Strategik DBP 2021-2025 memang tidak dapat disangkal lagi. Bahasa Melayu merupakan bahasa perantara dalam kalangan masyarakat, justeru kemahiran dan kemampuan menggunakan bahasa Melayu dengan betul perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Hal ini penting agar penyampaian maklumat daripada\u00a0satu pihak kepada pihak yang lain lebih jelas dan mudah difahami.\nDewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) telah diberikan mandat untuk memperkembang, memperkukuh dan memantapkan penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi, khususnya dalam kalangan masyarakat di Wilayah Utara. Sehubungan dengan itu, aktiviti pemantauan bahasa Melayu dilaksanakan untuk meningkatkan mutu penggunaan bahasa Melayu di tempat awam, sama ada dalam aspek pengiklanan, penamaan jalan, penamaan taman perumahan dan sebagainya.\nOleh sebab kuasa memantau kesalahan penggunaan bahasa Melayu dalam iklan di tempat awam seperti pengiklanan luar, penamaan premis kedai, penamaan jalan dan penamaan taman perumahan terletak di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), maka DBPWU bekerjasama dengan Majlis Bandar Raya Pulau Pinang (MBPP) melaksanakan pemantauan tersebut di kawasan sekitar George Town. Pemantauan tersebut\u00a0dilaksanakan\u00a0bagi mengambil tindakan awal, memberikan panduan yang sewajarnya, seterusnya memantau papan tanda dan iklan sedia ada. Kerjasama ini penting untuk memartabatkan bahasa Melayu, terutama oleh pihak swasta.\nPemantauan yang dilaksanakan dari pukul 3.00 petang hingga 5.00 petang\u00a0di sekitar bandar raya George Town ini turut disertai oleh Munsyi Dewan (Bahasa), Puan Rehela Bee Mohamad Ali dan Anggota Operasi MBPP, Penolong Jurutera (PJ) Mohammad Fahimi Azizan, PJ Afifuddin Abdul Majid serta Merinyu Lesen Kanan (MLK) Sundram dan MLK Aziz.\nPemantauan yang dilaksanakan dari semasa ke semasa dengan kerjasama erat MBPP ini diharap dapat membantu MBPP memartabatkan bahasa Melayu di kawasan pentadbiran PBT tersebut." "Isu Beg Berat: Pemasangan Lokar Bakal Dimulakan pada Hujang Bulan Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013\u00a0Berhubung dengan isu beg berat yang berlarutan sekian lama, Kementerian Pendidikan Malaysia mengadakan Majlis Libat Urus Bersama-sama Editor Kanan Agensi Media bagi memperincikan beberapa pendekatan dalam usaha menangani isu tersebut secara tuntas.\nPada petang tadi, bertempat di Bayu Longue, Kelab Tasik Putrajaya, Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin memaklumkan bahawa pemasangan lokar akan diberikan tumpuan pada sekolah rendah yang mempunyai dua sesi persekolahan.\n\nBagi fasa pertama, pemasangan lokar akan dilaksanakan pada sekolah yang mempunyai dua sesi melibatkan murid Tahap 1, iaitu Tahun 1 dan Tahun 2.\u201d\n\u201cProses pemasangan lokar terbabit bakal dimulakan pada hujung bulan ini. Menjelang bulan Oktober, KPM akan memastikan semua perolehan dan keperluan tersebut sampai dan dipasang ke sekolah.\nMenurut YB Datuk Dr. Radzi Jidin, sebanyak 10 662 lokar yang disediakan pada fasa pertama yang membabitkan 323186 murid ini merupakan satu daripada langkah untuk mengurangkan tekanan emosi yang dihadapi oleh kanak-kanak. Berdasarkan penelitian ke atas maklum balas yang diperoleh, isu beg berat adalah kritikal dalam kalangan murid sekolah rendah, khususnya tahun 1, 2 dan 3.\nWalau bagaimanapun, proses pemasangan lokar akan diperluas kepada murid Tahap 2, iaitu melibatkan murid tahun 4, 5 dan 6 pada fasa kedua. Pelaksanaan ini dijangka bermula pada awal tahun 2023.\nTerdahulu, YB Datuk Dr. Radzi Jidin turut memaklumkan isu berkaitan dengan penyusunan semula jadual waktu mengikut kaedah dan pelaksanaan yang sesuai, terutamanya aspek pemberatan mata pelajaran dan ketersediaan guru.\nSekolah diberikan kelonggaran untuk melaksanakan jadual waktu yang mengandungi tiga hingga empat mata pelajaran sehari. Kita menetapkan bilangan buku latihan untuk sesuatu subjek tidak melebihi dua buah buku pada satu-satu masa.\nMengulas lebih lanjut, beliau memaklumkan dalam sidang media selepas tamatnya majlis tersebut, KPM telah mengambil pendekatan dengan menumpukan penerbitan baharu buku teks dalam format digital.\n\u201cSebanyak 692 judul buku teks digital telah dimuat naik dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMA).\u201d\n\u201cMurid yang mempunyai peranti boleh mengakses buku teks digital bagi memudahkan pembelajaran mereka,\u201d ujar Menteri Kanan Pendidikan itu dalam menangani isu beg berat, selain meningkatkan keberkesanan persekitaran bilik darjah yang lebih signifikan, sesuai dengan konsep Sekolahku SEJAHTERA." "Kerjasama DBP-AKBG-MGA: Memartabatkan Bahasa Melayu ke Peringkat Antarabangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\n\nKuala Lumpur \u2013 Sukan dan industri golf di Malaysia bakal menyaksikan buku berbahasa Inggeris yang bertajuk Rules of Golf diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu apabila Akademi Kemahiran Belia Golf Malaysia (AKBG) dan Persatuan Golf Malaysia (MGA) bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk merealisasikan hasrat tersebut.\nUmum mengetahui bahawa buku Rules of Golf yang menjadi antara rujukan utama peminat sukan golf di serata dunia telah diterjemahkan ke dalam 33 bahasa di 33 buah negara. Buku terbitan United States Golf Association \u00a0ini merupakan panduan penting bukan sahaja kepada pencinta sukan ini tetapi kepada sesiapa sahaja yang ingin mengenali dunia golf. Maka itu, kerjasama antara DBP, AKBG dan MGA bukan sahaja bakal merakam sejarah Malaysia sebagai negara ke-34 yang menterjemahkan buku tersebut ke dalam bahasa negara masing-masing, tetapi merupakan usaha murni dalam memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.\n\u201cDBP sememangnya menyambut baik usaha yang dilaksanakan oleh pihak AKBG dan MGA apabila memilih DBP sebagai pakar rujuk dalam bahasa Melayu untuk penerbitan buku terjemahan yang telah digunakan di serata dunia ini. Pastinya usaha ini membanggakan negara apabila terdapat buku yang dapat memberikan input baharu kepada industri golf negara dalam bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu,\u201d ujar Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Puan Fauzilahyatun Mustafa dalam ucapan alu-aluannya dalam kunjungan pihak AKBG dan MGA ke DBP, yang berlangsung di Menara Dewan Bahasa, pada petang ini.\nBagi mencapai hasrat tersebut, kerjasama antara DBP, AKBG dan MGA yang bermula sejak tahun 2021, bertitik tolak dengan penganjuran bengkel semakan terjemahan \u201c74 Definisi Peraturan Golf\u201d yang diadakan di Cameron Highlands, pada 11 hingga 14 Oktober 2021. Rentetan kejayaan bengkel pertama yang menyaksikan keberhasilan menyiapkan sebanyak 44 daripada 74 entri definisi peraturan golf, kerjasama ini diteruskan dengan bengkel kedua pada 22 Disember 2021, di Kelab Golf Perkhidmatan Awam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.\u00a0Menerusi bengkel tersebut, sebanyak 15 entri berjaya dimuktamadkan. Selepas itu, diadakan pula bengkel ketiga yang berlangsung di Forest City Golf Resort Johor Bahru. Hasil daripada bengkel ini sebanyak 24 daripada 48 entri interpretasi golf berjaya disiapkan.\u00a0\nMenuruti Pengarah AKBG, Encik Mohd Hazan Dahari, usaha penterjemahan buku Rules of Golf ke dalam bahasa Melayu perlu dilakukan oleh pakar bahasa daripada agensi yang berwibawa agar penterjemahannya dapat menjadi pegangan yang dihormati dan boleh menjadi rujukan yang tepat bukan sahaja kepada industri golf di negara ini tetapi turut membantu AKBG melahirkan generasi muda yang lebih memahami industri ini, khususnya golongan belia yang sedang mengikuti kursus yang ditawarkan di AKBG.\n\u201cKerjasama penerbitan buku terjemahan ini ke dalam bahasa Melayu pastinya akan membuka ruang baharu kepada pemahaman rakyat Malaysia terhadap sukan golf. Oleh itu, AKBG yakin bahawa usaha ini hanya akan dapat direalisasikan dengan kepakaran dan kerjasama yang baik daripada DBP,\u201d ucap Encik Mohd Hazan Dahari yang menjangkakan bahawa buku terjemahan Rules of Golf ke dalam bahasa Melayu akan berjaya disiapkan dan dicetak pada tahun 2023. Menurutnya, buku tersebut akan diberikan secara percuma kepada khalayak yang disasarkan oleh pihak AKBG dan MGA.\nSebagai makluman, penubuhan AKBG adalah bertujuan untuk membuka peluang latihan kemahiran kepada penduduk tempatan terutamanya golongan belia. Program yang ditawarkan oleh AKBG juga bermatlamat untuk menggalakkan golongan belia berkecimpung dan bergiat aktif dalam aktiviti sukan golf menerusi peluang kemasukan pelajar dalam latihan kemahiran sukan golf seterusnya memperoleh pentauliahan pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia.\nYang turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Pengurus Operasi MGA, Encik Bambang Sumanteri Osman; Pegawai Projek AKBG, Puan Umaimah Husni; Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Encik Azhar Mohamad Dora; Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Mohd Fadzli Tajuid; dan para pegawai kanan DBP." "UiTM Perkasa Kerjasama dalam Bidang Penyelidikan, Inovasi, Keusahawanan dan Pembangunan Pelajar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Dalam usaha memantapkan kerjasama dalam mempergiat aktiviti dalam bidang penyelidikan, inovasi, keusahawanan dan pembangunan pelajar, Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini mengorak langkah dengan menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dan Perjanjian Persefahaman dengan Universitas Islam Riau, Indonesia; Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Malaysia; VTS Universe Sdn. Bhd., Malaysia dan Malthai Hub, Malaysia secara maya.\nKerjasama ini diusahakan dengan matlamat menyeluruh bagi menyediakan peluang kepada kedua-dua institusi berkongsi pengalaman, rangkaian, teknologi dan sumber masing-masing dalam pelibatan akademik dan penyelidikan demi manfaat bersama.\nUsaha ini dilihat dapat memberikan peluang kerjasama baharu seperti program mobiliti kakitangan dan pelajar, latihan dan bengkel.\nDalam majlis ini, UiTM diwakili oleh Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof. Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi yang mewakili Naib Canselor UiTM dan Timbalan Rektor UiTM Cawangan Perlis, Ts. Gs. Dr. Ernieza Suhana Mokhtar.\n\nMajlis ini turut dihadiri oleh wakil dari empat institusi dan industri termasuklah Prof. Dr. Syafrinaldi, Rektor Universitas Islam Riau, Indonesia dan Encik Paudzi Yahya, Pengarah Malthai Hub, Malaysia, serta wakil daripada pihak industri." "YAB PM Lancar Buku Daftar Istilah Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Seiring dengan visi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai satu daripada bahasa utama dunia, DBP melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi dengan kerjasama Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) telah menerbitkan buku Daftar Istilah Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa.\nKerjasama ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk mendaulatkan bahasa ibunda dan membuktikan bahawa bahasa kebangsaan tidak mengekang kemajuan negara. Usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia ini merupakan dasar kerajaan dan satu daripada fokus dalam Kerangka Dasar Luar Negeri, iaitu Diplomasi Bahasa dan Kebudayaan.\nSaya telah mengarahkan supaya semua urusan surat-menyurat menggunakan Bahasa Melayu, termasuklah urusan yang melibatkan urusan luar negara. Saya sendiri telah mengutus surat kepada pemimpin dunia yang ditulis dalam bahasa Melayu disertakan terjemahan Bahasa Inggeris.\n\u201cBegitu juga dengan penggunaan bahasa Melayu sewaktu penyertaan saya dalam pelbagai mesyuarat antarabangsa yang lain,\u201d ujar YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob semasa Majlis Pelancaran Buku Daftar Istilah Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa yang diadakan di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Wisma Putra, Putrajaya, semalam.\nTurut hadir bersama-sama ialah Menteri Luar Negeri, YB Dato\u2019 Sri Saifuddin Abdullah; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri; Menteri Pengajian Tinggi (KPT), YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmed; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, YBhg. Dato\u2019 Sri Amran Mohamed Zin, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan dan Ketua Pengarah IDFR, Dato\u2019 Dr. Shazelina Zainul Abidin.\nKerajaan turut menggalakkan diplomat negara untuk menguasai bahasa asing selaras dengan keperluan menjalankan urusan rundingan diplomatik dan perdagangan dengan negara lain.\nPelancaran tersebut turut disaksikan oleh 106 Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara secara dalam talian yang turut hadir bersempena dengan Persidangan Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Ke-9 (HOMC9) dalam majlis yang sama. Persidangan tersebut mengumpulkan semua Ketua Perwakilan Diplomatik di luar negara untuk memperkatakan dengan jelas aspirasi, dasar dan hala tuju kerajaan bagi kepentingan nasional, imej dan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa.\nUntuk rekod, buku ini mengandungi istilah khusus dalam bidang diplomasi dan hubungan antarabangsa, iaitu sebanyak 1198 istilah sumber (bahasa Inggeris) dan 1281 istilah sasar (bahasa Melayu), serta 144 nama pertubuhan dan usaha kerjasama antarabangsa. Ahli Jawatankuasa buku daftar ini terdiri daripada pensyarah dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pegawai Kementerian Luar Negeri, pegawai Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, DBP dan pegawai IDFR.\nBuku Daftar Istilah Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa ini sesuai dijadikan sebagai rujukan kepada pengajar, pelajar dan pengamal dalam bidang diplomasi dan hubungan antarabangsa. Buku ini boleh didapati dalam bentuk digital melalui pautan ini, manakala versi bercetak pula boleh didapati di laman web DBPNiaga.my." "Pidato Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah: Simbolik Gema Patriotik dalam Jiwa Generasi Muda\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu \u2013 Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2022, Pertandingan Akhir Pidato Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah telah diadakan pada 6 September 2022 di Dewan Bankuasi Utama, Menara Kinabalu, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) yang disertai oleh sembilan orang peserta terbaik dari seluruh negeri Sabah. Pertandingan ini terbahagi kepada tiga kategori, iaitu Sekolah Rendah, Sekolah Menengah dan Tingkatan Enam.\nPertandingan ini sebagai simbolik bergemanya semangat patriotik dalam jiwa generasi kini bersesuaian dengan tema Hari Kebangsaan 2022, iaitu \u201cKeluarga Malaysia Teguh Bersama\u201d. Pertandingan ini merupakan acara yang signifikan dalam memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu selaras dengan visi dan misi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) demi memastikan bahasa kebangsaan terus terpelihara dan kekal sebagai tunjang negara.\nMenteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Yang Berhormat (YB) Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Haji Mohd Arif, dalam ucapannya menyatakan bahawa pertandingan yang mengetengahkan tema \u201cKeluarga Malaysia Teguh Bersama\u201d ini akan membuka peluang kepada peserta untuk menyerlahkan bakat pidato di samping menerapkan nilai patriotisme dalam kalangan generasi muda. Beliau turut berkata, pertandingan pidato ini dijalankan untuk memastikan kemahiran seni ini tidak terus lenyap ditelan zaman.\nMajlis Penutupan juga disempurnakan oleh YB Datuk Dr. Haji Mohd Arifin yang sekali gus merasmikannya. Beliau juga berbesar hati menyampaikan hadiah buat para pemenang bagi acara Pidato Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah. Dalam majlis yang sama, YB Datuk Dr. Haji Mohd Arifin turut menyampaikan Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) 2.0 kepada pelajar dari Sabah yang layak melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi. Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar, ketua jabatan, pelajar, ibu bapa dan guru pengiring.\nMenurut Setiausaha Tugas-Tugas Khas, Encik Sapdin Ibrahim, sebanyak 717 orang pelajar telah menyertai pertandingan ini. Setelah beberapa penilaian dilakukan pada peringkat saringan, hanya sembilan orang peserta yang dipilih untuk bertanding pada peringkat akhir.\nBagi kategori Sekolah Rendah, johan dirangkul oleh Florina Mikayla dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Siew Chin, Lahad Datu. Bagi kategori Sekolah Menengah pula, johannya disandang oleh Muhammad Yasin Roslan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Arshad, Kota Belud yang sekali gus menerima Anugerah Pemidato Terbaik pada tahun ini. Akhir sekali,\u00a0 kategori Tingkatan Enam dijuarai oleh Saudari Siti Khadijah Kamarudin dari Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahim, Kudat.\nPertandingan ini merupakan anjuran Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas dengan kerjasama DBP Cawangan Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Jabatan Penyiaran Negeri Sabah, Jabatan Penerangan Negeri Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah." "Timbalan Komander Rejimen 504 Mengadap Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Tanggal 7 September 2022, Rejimen 504 Askar Wataniah Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia menyambut Hari Ulang Tahun Ke-42.\nSemoga rejimen berslogankan \u2018Latih Untuk Perang\u2019 yang merupakan benteng pertahanan kedua-dua negara ini terus gah dalam mempertahankan kedaulatan tanah air amnya dan bumi Perlis khasnya.\nDemikianlah titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Komander rejimen, selepas berkenan berangkat menerima sembah mengadap hormat oleh Timbalan Komander rejimen baharu, baru-baru ini.\nMenurut kenyataan dalam media, Timbalan Komander rejimen tersebut yang baharu, iaitu Leftenan Kolonel Lasahi Laiji telah mengambil alih tugas pada 4 Ogos 2022 di Bilik Mesyuarat, Galeri DiRaja Arau, Leftenan Kolonel Lasahi sebagai Timbalan Komander yang ke-23 menyembah mengadap Tuanku Komander secara rasminya bagi memperkenalkan diri, mengetahui visi dan hasrat Tuanku Komander, serta membincangkan hala tuju rejimen sebagai panduan perancangan rejimen pada baki tahun ini dan seterusnya.\nDalam perkembangan lain, pihak rejimen sedang memberikan fokus khusus untuk persiapan menjadi tuan rumah kepada Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) di Perlis bermula tarikh 14\u201316 Oktober 2022 kelak.\nTambah baginda, muda mudi rakyat negeri Perlis yang mempunyai sihat tubuh badan dan memenuhi segala keperluan minimum yang ditetapkan oleh Angkatan Tentera Malaysia adalah dijemput secara segera untuk tampil ke hadapan secara beramai-ramai bagi mendaftarkan diri untuk menjadi anggota sukarela Askar Wataniah di Kem Bukit Keteri, Perlis." "Program KKEC 2022 Anjuran UiTM Cawangan Perlis Menjuruterai Pembentukan Nilai Pelajar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nArau \u2013 \u201cSebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang komprehensif, UiTM sentiasa menyokong dan memberikan komitmen penuh dalam memperkasa agenda pembentukan kemahiran insaniah yang terpuji dan mantap.\u201d\n\u201cHal ini termasuklah dari segi penganjuran program bercirikan sukan bagi memantapkan ketahanan diri, terutamanya dalam kalangan warga unit kokurikulum dan unit kesatria UiTM,\u201d ucap Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, YBhg. Mej. Jen. (K) Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi dalam Program Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) siri ke-10, semalam.\nMenurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, program KKEC merupakan satu platform yang signifikan dalam menerapkan nilai positif dalam diri Komander Kesatria. Pertandingan berkonsepkan sukan lasak ini bertujuan untuk membentuk pelajar menjadi pemimpin yang memiliki jati diri yang tinggi serta berdaya saing, proaktif dan kental dari segi mental dan fizikal, di samping memupuk semangat kerjasama dalam kumpulan.\nUiTM Cawangan Kelantan telah terpilih untuk menjadi tuan rumah bagi tahun 2023.\nSebanyak 15 penyertaan dari seluruh UiTM semalaysia dengan keseluruhannya berjumlah 600 peserta, 50 krew dan 50 staf dari pelbagai peringkat dan unit dengan UiTM Cawangan Perlis selaku tuan rumah. Terdapat pelbagai acara yang dipertandingkan, termasuklah petong, kembara berpandu arah MTB, kembara berpandu arah maze-o, iron commander, cabaran merentasi halangan, cabaran merentasi MTB, pencarian aktiviti lasak dan jalan lasak.\nJuara keseluruhan bagi pertandingan tersebut dirangkul oleh kontinjen daripada UiTM Cawangan Perlis dengan mengutip sembilan pingat emas, empat pingat perak dan tiga pingat gangsa.\nDiikuti oleh UiTM Cawangan Johor yang mengumpul tiga pingat emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa, manakala UiTM Cawangan Melaka muncul sebagai pemenang tempat ketiga dengan mengumpul satu pingat emas, satu pingat perak dan tiga pingat gangsa.\nMajlis perasmian penutupan ditambah seri dengan kehadiran YBhg. Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, Rektor UiTM Cawangan Perlis, dif-dif jemputan rektor, pengarah dan timbalan Rektor Bahagian HEP, juga kontinjen KKEC dari seluruh sistem UiTM." "Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-36 Peringkat Kebangsaan Semarakkan Patriotisme Rakyat Melalui Puisi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPemerkasaan semangat patriotik dan rasa megah kepada bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia serta peneguhan perpaduan kaum melalui pengucapan puisi menjadi matlamat penganjuran Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) ke-36 Peringkat Kebangsaan Tahun 2022.\nProgram anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menyaksikan sebanyak 17 orang peserta yang mewakili negeri dan agensi masing-masing bertanding merebut wang tunai berjumlah RM5 000.00 dan piala pusingan.\nMelalui ucapan alu-aluan daripada Yang Berbahagia (YBhg.) Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan, Ketua Satu GAPENA Malaysia, beliau menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada DBP kerana bersama-sama menjayakan SDPK dari peringkat awal. \u00a0Menurut beliau, kemerdekaan itu bukan sekadar bebas tapi memberi makna tersendiri.\n\u00a0\nSDPK bukan sahaja meraikan kemerdekaan, tetapi juga mendidik, untuk menghargai bait-bait puisi yang dilontarkan oleh para pendeklamatornya semenjak 36 tahun yang lalu; bait-bait puisi yang mendoakan supaya negara kita maju, bait-bait puisi yang mendoakan supaya negara kita aman makmur, bait-bait puisi yang melahirkan generasi baharu yang peka tentang sebuah bangsa, yang peka tentang seluruh negaranya. Ia bukan suatu perkara yang mudah. Ia adalah suatu harga yang mahal.\nAcara perasmian penutupan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-36 ini pula telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff, Setiausaha Politik dan juga selaku wakil rasmi kepada Yang Berhormat (YB) Dato Seri Dr. Shahidan Kassim, Menteri Wilayah Persekutuan.\nDalam ucapan penutupan beliau, YBhg. Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff menyatakan bahawa masyarakat perlu memahami erti sebenar kemerdekaan.\nJangan kita mengamalkan kemerdekaan tanpa sempadan. Kita perlu sedar kita menumpang atas perjuangan nenek moyang kita\n\u00a0\nYBhg. Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff mengambil kesempatan mendeklamasikan sebuah puisi, inspirasi daripada semangat \u201cKeluarga Malaysia\u201c dan menyampaikan mesej supaya rakyat mengekalkan perpaduan, semangat, \u00a0menjaga perhubungan sesama kaum demi memastikan Malaysia berada dalam keadaan aman damai.\nWakil kepada YB Menteri Wilayah Persekutuan itu juga turut berbesar hati menyampaikan hadiah buat para pemenang pertandingan ini. Gelaran johan bagi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-36 Tahun 2022 dirangkul oleh peserta yang mewakili negeri Melaka, iaitu Muhammad Suffian Khirham, manakala tempat kedua disandang oleh Zaheera Ibrahim yang mewakili negeri Kedah. Tempat ketiga pula jatuh kepada peserta dari Perak, iaitu Noor Azli Sudin.\nMajlis turut dimeriahkan dengan persembahan deklamasi puisi oleh Mohd Fauzi Jumikah, Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-35 Tahun 2021, diselangi persembahan oleh kumpulan muzik Mafidz.\nTurut hadir dalam majlis ini ialah YBhg. Datuk Ramlan Haji [email\u00a0protected], Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Yang Berhormat (YB) Dato Seri Dr. Shahidan Kassim, Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Hazami Juhari, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP mewakili Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abg Sallehuddin Abang Shokeran, Encik Amiruddin Md. Ali Hanafiah, Pengerusi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan 2022, Ahli Jawatankuasa GAPENA, pegawai-pegawai kanan DBP serta pimpinan kerabat GAPENA." "Sistem Kerajaan Elektronik: Inisiatif untuk Membantu Rakyat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerkembangan pesat teknologi telah berlaku secara global dan telah banyak memanfaatkan manusia serta memudahkan urusan dalam kehidupan seharian apabila masyarakat digalakkan menggunakan gajet untuk melakukan urusan seharian mereka. Perkembangan pesat teknologi pada hari ini sangat signifikan dengan hasrat negara untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju kerana kita telah mencapai tahap pembangunan yang tinggi, contohnya dalam bidang Sains dan Teknologi.\nDi Malaysia misalnya, kerajaan telah menjalankan pelbagai inisiatif ke arah mendigitalkan perkhidmatan kerajaan secara dalam talian, iaitu dengan melancarkan Koridor Raya Multimedia pada tahun 1996. Menerusi idea ini, kerajaan juga telah merekodkan beberapa kejayaan seperi menarik pelabur dari luar negara yang berasaskan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Selain itu, Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) telah mencipta pelbagai perubahan dalam bidang teknologi di Malaysia. Tambahan pula, sejak tahun 2020, wabak pandemik COVID-19 telah mempercepat perubahan untuk mengadaptasikan pendigitalan dalam urusan seharian kerajaan, kerana rakyat perlu menggunakan pelbagai perkhidmatan secara dalam talian berikutan sekatan perjalanan yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan untuk mencegah wabak ini daripada berleluasa. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperkenalkan juga telah memberikan impak yang besar terhadap kelancaran sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan, sama ada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan mahupun agensi-agensi kerajaan.\nNamun begitu, masyarakat tidak perlu bimbang dalam berurusan dengan pihak kerajaan dalam tempoh pandemik kerana perkhidmatan secara dalam talian membolehkan urusan rakyat seperti pembaharuan cukai jalan kenderaan, permohonan bantuan, penghantaran borang cukai pendapatan dan banyak lagi, dapat dilakukan dengan mudah dan selamat menggunakan platform digital seperti laman web rasmi kerajaan. Bukan hanya golongan muda, golongan berusia juga sudah mula menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak kerajaan dalam laman web mereka dengan mempelajari cara menggunakan sistem tersebut sejak negara dilanda COVID-19.\nKepentingan Sistem Kerajaan Elektronik (e-Kerajaan)\nPerkembangan teknologi dapat mendatangkan kesan yang positif jika digunakan dan disalurkan ke arah yang baik. Teknologi memainkan peranan yang signifikan dengan hasrat negara kita untuk beralih ke status negara maju kerana teknologi dapat mencipta pelbagai peluang tanpa had. Berbekalkan teknologi, komunikasi menjadi mudah walaupun dipisahkan oleh jarak geografi, memudahkan pekerjaan manusia dengan menjadikan sesuatu perkara itu lebih cekap dan berkesan dan memudahkan manusia untuk mendapatkan informasi dalam masa yang lebih cepat dan pantas. Dengan kata ringkasnya, semuanya di hujung jari.\nKerajaan Digital atau Kerajaan Elektronik (e-kerajaan) merupakan satu daripada inisiatif pihak kerajaan memanfaatkan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) untuk kepentingan masyarakat dan negara. Antara kepentingan Kerajaan Elektronik adalah seperti berikut:\n\u00a0\n\u00a0\nBagi memastikan kerajaan digital dapat direalisasikan dengan baik, bukan sahaja infrastruktur ICT perlu diberi perhatian, malah infostruktur juga perlu ditekankan bagi memastikan semua pihak mendapat capaian maklumat dengan lebih tepat dan cepat. Selain itu juga, kerajaan perlu memastikan semua rakyat mempunyai perkakasan yang bersesuaian bagi membolehkan mereka mengakses maklumat yang diperlukan dan menikmati perkhidmatan yang dibekalkan oleh kerajaan. Beberapa buah negeri seperti Selangor telah memperkenalkan kemudahan Wi-fi secara percuma di beberapa tempat di negeri ini bagi memudahkan rakyat mengakses maklumat atau menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan kerajaan tanpa sebarang diskriminasi. Infrastruktur dan kemudahan ICT juga sedang giat diperkembangkan dari semasa ke semasa untuk memudahkan rakyat mengakses kemudahan Internet pada bila-bila masa tanpa sebarang masalah. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan, Selangor merupakan antara negeri yang mempunyai ramai penduduk yang menggunakan kemudahan Internet. Oleh itu, kerajaan negeri boleh mengambil peluang ini untuk menambah baik dan memperluas perkhidmatan yang diberikan kepada pengguna.\nWalaupun kita sedia maklum bahawa banyak pembaharuan yang telah dibuat untuk beralih kepada kerajaan digital, sekiranya dilihat pada situasi semasa, terdapat banyak lagi ruang dan peluang yang boleh dimanfaatkan ke arah itu. Tindakan berkaitan perlu dilakukan dalam usaha menambah baik dan meningkatkan mutu perkhidmatan agar urusan rakyat dapat dipermudahkan. Bagi mencapai pembangunan negara yang mampan, semua pihak perlulah memainkan peranan dalam meningkatkan kecekapan, keberkesanan, kualiti dan capaian maklumat dan perkhidmatan yang baik yang mana akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial, selain melindungi alam sekitar.\nNazreena Mohammed Yasin, Pensyarah di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR)." "KPM Semak Semula Keperluan Pemakaian Pelitup Muka\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataannya pada hari ini memaklumkan bahawa pemakaian pelitup muka semasa berada di dalam bangunan dan di luar bangunan atau kawasan terbuka di institusi pendidikan bawah kementeriannya adalah mengikut pilihan individu. Walau bagaimanapun, KPM menggalakkan agar pemakaian pelitup muka diteruskan dalam kawasan institut pendidikan, khususnya di kawasan sesak.\nPemakaian pelitup muka diwajibkan bagi individu bergejala seperti demam, batuk dan selesema ketika berada di dalam bangunan, manakala amat digalakkan ketika berada di luar bangunan. Bagi individu yang dikesan positif COVID-19 semasa berada di institut pendidikan atau asrama, mereka diwajibkan memakai pelitup muka semasa dirujuk ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) atau fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.\nDalam kenyataan yang sama juga, KPM memaklumkan bahawa murid diwajibkan memakai pelitup muka semasa menaiki bas sekolah atau pengangkutan awam seperti yang dinyatakan Menteri Kesihatan Malaysia dalam kenyataan media pada 7 September 2022.\nKetetapan tersebut turut terpakai untuk semua institusi pendidikan bawah KPM serta disarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri.\nKPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik." "Rusydi Zahari\u00a0Juara Sayembara Deklamasi Puisi Piala Komandan ABPM Wilayah Tengah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Kubu Baru \u2212 Dengan mengambil semangat dan roh bulan kebangsaan, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah mengadakan Sayembara Deklamasi Puisi Piala Komandan ABPM Wilayah Tengah yang berlangsung di Auditorium Haji Mansur, ABPM Wilayah Tengah.\nSelain pakar dalam memadamkan api serta menyelamatkan nyawa dan harta benda, siapa sangka para pegawai bomba\u00a0turut hebat dalam mendeklamasikan puisi. Dengan membawakan puisi yang berjudul \u201cTanah Airku Menjelang Kemerdekaan\u201d\u00a0nukilan Usman Awang, Rusydi Zahari muncul sebagai Johan Sayembara Deklamasi Puisi Piala Komandan ABPM Wilayah Tengah. Tempat kedua pula dimenangi oleh Muhammad Khuzir dan tempat ketiga disandang oleh Mohd Nazrullah Abdul Aziz.\u00a0Johan sayembara ini membawa pulang piala pusingan, wang tunai dan hadiah iringan manakala naib johan, tempat ketiga dan sagu\u00a0hati membawa pulang wang tunai dan hadiah iringan.\nSebanyak\u00a0lapan orang peserta telah mengambil bahagian dalam sayembara ini yang terdiri daripada pegawai kadet yang sedang menjalani program Diploma Pascasiswazah Sains Kebombaan dan Diploma Lanjutan Sains Kebombaan di ABPM Wilayah Tengah.\nAntara objektif sayembara ini diadakan adalah untuk menanam sikap patriotik dalam kalangan pegawai kadet dan kakitangan ABPM Wilayah Tengah. Sayembara ini turut dapat menyemai rasa cinta akan bangsa dan negara di\u00a0samping dapat mencungkil bakat terpendam dalam kalangan pegawai kadet ABPM Wilayah Tengah.\nSayembara Deklamasi Puisi Piala Komandan ini telah dirasmikan oleh Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Muhammad Azmi Ismai, Komandan ABPM Wilayah Tengah. Yang turut hadir ialah Timbalan Komandan, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abdul Halim Mohamed Jadi serta pegawai, jurulatih dan kakitangan ABPM Wilayah Tengah.\nDalam ucapan Komandan ABPM Wilayah Tengah, beliau tidak menyangka bahawa terdapat banyak bakat baharu yang boleh mendeklamasikan puisi dengan baik. Beliau berharap agar para pegawai kadet ini tidak mensia-siakan bakat mereka dan teruskan usaha untuk mendalami ilmu deklamasi serta pengucapan.\nKomandan juga menzahirkan ucapan tahniah kepada pihak penganjur yang terdiri daripada Pegawai Perhubungan Awam, pegawai kadet platun ALPHA, pegawai kadet DPSK dan DLSK yang bertungkus lumus menjayakan sayembara puisi ini." "Majlis Penganugerahan FELO dan Anugerah Emas PSM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sejarah tercipta pada hari ini apabila Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) menganugerakan gelaran FELO PSM kepada tiga orang individu yang berperanan besar dalam memajukan dan mengembangkan sejarah tanah air melalui penyelidikan dan penemuan baharu dalam bidang sejarah di negara ini. Majlis ini diadakan dalam sebuah acara khas yang berlangsung di Wisma Sejarah pada hari ini.\nPenganugerahan FELO PSM melalui tapisan yang ketat dan dipilih atas perakuan Jawatankuasa Eksekutif PSM dan persetujuan Majlis PSM. Yang menariknya, anugerah dalam satu-satu tahun juga tidak boleh melebihi tiga orang sebagai penerimanya. Hal ini bermakna, hanya tokoh yang benar-benar layak dalam memberikan sumbangan besar mereka dalam sejarah tanah air dipertimbangkan untuk menerima anugerah ini. Jumlah pemegang gelaran FELO pula hendaklah tidak melebihi 50 orang bagi individu yang masih hidup.\nBerdasarkan kegiatan cemerlang mereka dalam gerakan untuk menarik, memupuk dan mengembangkan minat masyarakat terhadap sejarah tanah air, sejarah negeri dan sejarah tempatan, Majlis PSM bersetuju untuk memberikan penganugerahan ini kepada tiga individu yang layak pada tahun ini.\nMajlis dimulai dengan ucapan alu-aluan oleh YBhg. Dato\u2019 Haji Jumaat Dato\u2019 Haji Mohd Noor, Pengerusi Eksekutif PSM sebelum ucapan jasa terhadap tiga individu terpilih disampaikan oleh Timbalan Pengerusi PSM, YBhg. Prof Madya Dr. Mohd Samsudin.\nSelepas itu, majlis diteruskan dengan acara penyampaian anugerah kepada penerima pertama, iaitu Dato\u2019 Haji Sudin Kamari, mantan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan dan kini bertugas sebgai Setiausaha Kehormat PSM Cawangan Negeri Sembilan. Beliau merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam kegiatan sejarah terutamanya pada peringkat sekolah.\nTurut terpilih menerima anugerah tersebut ialah Dr. Dasrilsyah Syahrial, Bendahari Agung Kehormat PSM yang telah lama berkhidmat dalam Jawatankuasa Eksekutif PSM. Beliau menjadi penggerak utama dalam program jejak sejarah PSM di dalam dan di luar negara atas tugasnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Jejak Sejarah.\nPenerima anugerah FELO ketiga ialah Dr. Wan Ali Wan Mamat, mantan Ketua Pengarah Perpustakan Negara dan kini dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perpustakaan PSM. Pada masa yang sama, beliau bertugas sebagai pensyarah di ISTAC-IIUM. Kepakaran dan minat beliau tertumpu pada bidang manuskrip Melayu.\nDalam majlis yang sama, PSM turut mengadakan sesi penyampaian anugerah kepada graduan terbaik dalam kursus Sejarah Malaysia. Anugerah Pingat Emas PSM ini dianugerahkan kepada lima orang individu yang mewakili pusat pengajian tinggi masing-masing. Ainur Elliza Ismail (Universiti Malaya), Haszira Muhamad Yusof (Universiti Kebangsaan Malaysai), Sharan Syahmi Sharif (Universiti Sains Malaysia ), Ching Sin Hui (Universiti Pendidikan Sultan Idris) serta Thilushaa a/p Subramaniam (Universiti Malaysia Sabah) terpilih sebagai penerima anugerah tersebut berdasarkan tajuk tesis/latihan ilmiah masing-masing dalam bidang sejarah.\nPihak PSM mewujudkan anugerah ini sebagai inisiatif untuk meningkatkan minat dan menggalakkan kajian yang bermutu tentang sejarah Malaysia. Anugerah ini mula diberikan kepada siswazah dari UM (1998), UKM dan USM (2006) serta UPSI dan UMS (2010). Sehingga kini, 68 orang siswazah telah dianugerahkan Pingat Emas PSM. Calon yang terpilih menerima pingat emas, hadiah berupa buku terpilih dan sijil pengiktirafan.\nUntuk rekod, anugerah ini diberikan oleh Senat atas perakuan Lembaga Pmeriksa-Pemeriksa yang berkenaan. Anugerah ini juga tidak diberikan sekiranya tiada calon yang dianggap layak untuk menerimanya dalam mana-mana tahun pengajian.\nMajlis penyampaian anugerah ini disempurnakan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad diiringi oleh Dato\u2019 Haji Jumaat Dato\u2019 Haji Mohd Noor." "KPM Fokus Pembangunan serta Penyelenggaraan Bangunan dan Kemudahan Sekolah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013\u00a0Program Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan yang dilaksanakan oleh Sektor Perancangan dan Pembangunan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah diadakan di Dewan Putra Perdana, Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya pagi tadi. Program tersebut disempurnakan oleh YBhg. Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan.\u00a0\nSempena bulan Semarakkan Transformasi Pendidikan KPM dari 1 ogos hingga 16 September 2022, Sektor Perancangan dan Pembangunan telah diberi tanggungjawab untuk berkongsi informasi terkini daripada pelbagai bahagian bawah Sektor Perancangan dan Pembangunan yang terdiri daripada Bahagian Pembangunan, Bahagian GENIUS, Bahagian Tajaan Pendidikan, Bahagian Pengurusan Aset, Bahagaian Perancangan Strategik dan Hubungan Antarabangsa serta Bahagian Perolehan yang akan mempamerkan aktiviti projek masing-masing bagi menyokong bulan tranformasi ini. Program yang dianjurkan ini selaras dengan SDG 2030 yang berkaitan dengan menyediakan pendidikan berkualiti kepada para murid sedia ada dan masa depan.\nProgram ini diadakan bertujuan untuk mengadakan libat urus dengan pelanggan sektor Perancangan dan Pembangunan ke arah perkhidmatan berteraskan pelanggan, memberi pendedahan dan inspirasi dalam sesi perkongsian ilmu serta menggalakkan budaya inovasi serta kreativiti, perkongsian informasi terkini dalam pemantapan proses kerja sektor perancangan dan pembangunan serta mewujudkan jaringan antara KPM dengan rakan strategik. Tema program ini pula ialah \u201cBersama Semarakkan Transformasi Pendidikan: Infrastruktur Selamat dan Kondusif\u201c.\nDalam pada itu, kumpulan sasar bagi program ini ialah kontraktor, perunding, Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan agensi pusat iaitu Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU). Segmen program ini melibatkan pameran daripada bahagian yang berada di bawah Sektor Perancangan dan Pembangunan, agensi luar seperti FRIM serta Forum Infrastruktur yang melibatkan penyertaan daripada pelajar sekolah.\nYBhg. Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan dalam ucapannya dalam program itu menyatakan bahawa KPM sentiasa berusaha dan bergiat aktif dalam memantau dan melakukan tindakan yang sewajarnya berkaitan dengan pembangunan dan penyelenggaraan bangunan dan kemudahan di sekolah.\nKPM memberi fokus kepada dua perkara yang berkaitan dengan infrastruktur di sekolah, iaitu pembangunan dan penyelenggaraan. Setiap sen yang dibelanjakan harus mengoptimumkan pembangunan dan penyelenggaraan yang dilakukan supaya pada masa hadapan tidak timbul kos tinggi yang terpaksa dikeluarkan.\nSelain itu, beliau juga menyatakan bahawa KPM juga akan melakukan tindakan yang sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan keselesaan murid di sekolah. Seterusnya, beliau juga menyentuh tentang proses pemutihan tanah sekolah di seluruh negara. Menurutnya, proses pemutihan tanah mengambil masa kerana terdapat halangan dan kekangan tertentu yang terpaksa dihadapi seperti proses birokrasi dan status tanah tersebut. Ujarnya lagi, KPM akan sentiasa berurusan dengan pihak tertentu seperti kerajaan negeri bagi memastikan masalah tersebut dapat diatasi.\nSeterusnya, dalam program tersebut, beliau juga menyerahkan Dewan Terbuka Berbumbung dan Surat Pelaksanaan Kemudahan di Sekolah serta melawat pameran yang diadakan. Turut hadir dalam program tersebut ialah YBhg. Ramzi Mansor, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBhg. Noor Azman Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) dan YBhg. Dr. Norisah Suhaili, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah)." "Bicara Malaysiana 2.0: Antara Martabat dengan Daulat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya\u00a0\u2013 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menganjurkan sesi susulan Program Bicara Malaysiana, kali ini membawa tajuk \u201cAntara Martabat dan Daulat.\u201d Sesi tersebut diadakan secara langsung di Menara PNM dan secara dalam talian melalui Youtube PNM.\nTokoh sejarawan negara yang dijemput pada sesi kali ini ialah YBrs. Dr. Ahmad Kamal Ariffin Mohd Rus dari Universiti Malaya dan YBrs. Dr. Suffian Mansor dari Universiti Kebangsaan Malaysia untuk membuat perkongsian. Program tersebut diadakan bersempena Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September sebagai bukti penyatuan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (Sabah) yang membentuk negara Malaysia.\nDr. Ahmad Kamal dalam mengungkap Sejarah Pembentukan Persekutuan Malaysia menegaskan bahawa tidak pernah ada garis terpisah antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri dari tahun 1896 hingga 1941, yakni memberi kuasa besar kepada General British pada ketika itu. Hal ini menyebabkan Raja-Raja Melayu mengambil tindakan dalam Memorandum Malayan Planning Unit pada bulan Julai 1943 bahawa dasar tersebut tidak boleh kembali diguna pakai selepas Perang Dunia kedua. Semasa Malayan Union (MU) diperkenalkan, Raja-Raja Melayu melakukan penentangan dengan menghantar surat ke London melalui peguam-peguam menyatakan penolakan terhadap penubuhan Malayan Union.\nHasilnya, operasi MU\u00a0hanya sempat berlangsung selama dua bulan dan terdapat dua perkara yang dilaksanakan,\u00a0iaitu\u00a0(1) membentuk sebuah kesatuan\u00a0yang menggabungkan sembilan buah negeri Melayu,\u00a0termasuklah Pulau Pinang dan Melaka dalam satu unit pentadbiran. Manakala, Singapura pula diasingkan kerana kepentingannya sebagai sebuah pelabuhan bebas.\nSeterusnya, (2) Ratu England melantik seorang Gabenor British untuk mengetuai MU\u00a0yang berpusat di Singapura. Sebagai ketua kerajaan, kuasa eksekutif dan perundangan berada di tangannya. Hasil perjuangan parti politik UMNO menentang MU, Majlis Perundangan tidak sempat ditubuhkan, hanya Majlis Penasihat yang menjadi medium Gabenor untuk menjalankan tugas.\nHak perundangan merupakan satu perkara baru dan tidak pernah berlaku di era sebelum perang. Jika dikaji, hak perundangan Pesuruhjaya Tinggi berbanding dengan Raja-raja Melayu dilihat lebih anjal. Bermaksud,\u00a0jika terdapat rang undang-undang yang tidak dipersetujui oleh para baginda, Pesuruhjaya Tinggi boleh menggunakan sekurang-kurangnya dua cara sekiranya mahukan rang undang-undang itu dilaksanakan.\nDr. Suffian pula memulakan sesi beliau bertajuk Perlembagaan Persekutuan 1963 dengan menyatakan bahawa, hal ini bukan sebuah perkara baharu, malah merupakan hasil pindaan daripada Tanah Melayu pada tahun 1957. Pada asalnya, British ingin menggabungkan semua wilayah jajahannya di Asia Tenggara di bawah satu kesatuan. Namun\u00a0begitu, setelah Tanah Melayu mengecapi kemerdekaan pada tahun 1957, British telah mengubah dasar tersebut dan kerana pengaruh komunis yang begitu besar, maka terhasilnya idea pembentukan Malaysia. Ancaman komunis juga membuat British enggan melepaskan Sabah dan Sarawak secara serentak tanpa meyakinkan pemimpin Borneo terlebih dahulu pembentukan Malaysia tidak akan menjejaskan kuasa pemimpin-pemimpin di kedua-dua negeri.\nOleh itu, Jawatankuasa Perundingan Perpaduan dibentuk dan pemimpin di Semenanjung dan Borneo bersetuju sistem persekutuan akan digunakan kerana dapat menjamin hak-hak negeri. Selain itu, dipersetujui juga Sabah dan Sarawak akan menyertai Malaysia sebagai negeri dan pembentukan Suruhanjaya Cobbold bagi meninjau reaksi rakyat Sabah dan Sarawak untuk menyertai pembentukan Malaysia, yang pada akhirnya bersepakat untuk diberi hak keistimewaan kepada mereka.\nTerdapat banyak isu dan cabaran lain yang ditempuhi pemimpin-pemimpin dan Raja-Raja Melayu dalam membentuk Malaysia dan selepas pembentukan. Namun\u00a0begitu, dengan kebijaksanaan mereka mengatasi dan menguruskan setiap masalah dengan mengambi kira kemaslahatan setiap rakyat menjadikan Malaysia yang aman damai pada hari ini dapat dicapai.\nSempena sambutan Hari Malaysia 16 September 1963, rakyat Malaysia perlu mengenang kembali segala pengorbanan yang dilakukan oleh semua pemimpin supaya kemerdekaan hari ini dapat dikekalkan dalam suasana yang berbilang kaum." "KPM Melancarkan Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw\u00a0di Seluruh Sekolah Rendah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nPutrajaya\u00a0\u2013 Dalam usaha untuk meningkatkan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa pelibatan murid dalam kegiatan kokurikulum hakikatnya dapat melahirkan murid yang cergas, sihat dan bersemangat untuk hadir ke sekolah, selain mengukuhkan integrasi nasional.\nDalam Majlis Pelancaran\u00a0Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw\u00a0yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1)\u00a0pada pagi tadi, Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin berkata:\nSetiap murid di sekolah mempunyai kebolehan, kemampuan dan kekuatan masing-masing.\u201d\n\u201cPelaksanaan proses pencarian bakat sepak takraw ini merupakan satu daripada pendekatan yang dilakukan untuk memastikan anak-anak datang ke sekolah dengan memiliki \u2018kekuatan dan keyakinan\u2019 dalam diri mereka.\nOleh sebab itu, KPM memperluaskan skop PdP dengan memberikan peluang dalam pelbagai aspek pembangunan, bukan sahaja bergantung pada akademik, bahkan pembangunan karakter dan sahsiah jati diri.\nMenurut beliau, program ini bertujuan untuk mengenal\u00a0pasti bakat murid berumur bawah 12 tahun yang berpotensi untuk diketengahkan,\u00a0seterusnya ditempatkan di pusat\u00a0kecemerlangan sukan KPM,\u00a0iaitu Pusat Latihan Daerah (PLD), Sekolah\u00a0Sukan Negeri (SSN) dan Sekolah Sukan Malaysia (SSM).\nMengulas berkaitan dengan proses pencarian bakat murid, YB Datuk Dr. Radzi Jidin mengatakan bahawa penilaian adalah berpandukan pada modul ujian kemahiran sukan sepak takraw yang terdiri daripada ujian antropometrik, ujian kecergasan, ujian kemahiran asas dan ujian kemahiran spesifik.\nTambah beliau, pemurnian dan penambahbaikan modul ini telah melibatkan jurulatih mentor dalam kalangan guru yang juga merupakan bekas pemain sepak takraw.\u00a0Bakat murid akan dinilai oleh Jurulatih Mentor yang dilantik dengan bantuan Pengerusi Teknik dan Pembangunan Sukan (PTPS) Sepak Takraw Negeri, serta guru atau jurulatih sekolah yang terlibat.\nSebelum ini, KPM telah melancarkan program sukan bersama-sama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi penganjuran program khusus Liga Tunas Malaysia (Malaysia Little League), dan kemudiannya bersama dengan Persatuan Badminton Kuala Lumpur.\nPenganjuran ini (Malaysia Little League) merupakan inisiatif baharu rentas kementerian dengan hasrat memupuk minat dan mengaktifkan komuniti akar umbi ke arah melahirkan masyarakat berbudaya sukan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Sukan.\nTamsilnya, melalui penyertaan sukan dan permainan, KPM sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dengan menyediakan ruang dan peluang bagi pelibatan aktif murid dalam membentuk kemenjadian mereka melalui sukan.\nDalam sidang media tadi, YB Datuk Dr. Radzi Jidin menjelaskan bahawa inisiatif ini adalah selaras dengan Dasar 1Murid 1Sukan (1M1S) dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual\u00a0melalui pelaksanaan program Sekolahku SEJAHTERA.\nProgram Pengukuhan Sukan Sepak Takraw KPM tahun 2022 anjuran Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) ini akan berlangsung di semua\u00a0sekolah rendah di seluruh negara mulai 15 September 2022 di Putrajaya dan berakhir pada 13 November 2022 di negeri\u00a0Perlis.\nProgram rintis tahun 2022 ini diharapkan akan menjadi\u00a0platform terhadap pengukuhan program pembangunan sukan sepak takraw KPM pada masa akan datang." "Warga UiTM Perlis Menjiwai Semangat Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Semangat kebangsaan dan cinta akan negara sewajarnya dijiwai oleh setiap lapisan masyarakat di Malaysia. Bagi menyemai semangat ini, UiTM Cawangan Perlis hari ini telah menganjurkan Majlis Penutup Bulan Kebangsaan yang merupakan acara kemuncak bersempena dengan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia bagi tahun 2022.\nTerdapat pelbagai program dan aktiviti menarik yang berunsurkan patriotik telah dijalankan sejak Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan diadakan pada 10 Ogos yang lepas. Antara program dan aktiviti tersebut termasuklah Coretan Kemerdekaan, Baca untuk Merdeka, Pertandingan Sudut Kemerdekaan, Kuiz Kemerdekaan, Seni Anak Merdeka, Pertandingan Inovasi Busana Kemerdekaan, Hari Refleksi Kemerdekaan dan HEA Explore Race UiTM Merdeka. Program tersebut dianjurkan oleh beberapa bahagian seperti Pejabat Rektor, Perpustakaan Dato Jaafar Hassan, Unit Kokurikulum, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Akademik serta Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri Masyarakat Alumni & Keusahawanan, UiTM Cawangan Perlis. Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi dalam ucapannya berkata bahawa beliau amat gembira dengan sinergi serta semangat yang ditunjukkan oleh keluarga UiTM Cawangan Perlis yang telah bersama-sama menjayakan serta memeriahkan setiap aktiviti yang telah djalankan sepanjang bulan sambutan. \u201cInilah kebersamaan kita sebagai keluarga yang besar di kampus keramat ini\u201d, ujarnya\nProgram sebegini dilihat bukan sahaja menaikkan semangat patriotisme dalam diri setiap warga kampus, malahan pada sama yang sama dapat mempupuk semangat cinta akan UiTM serta rakan-rakan sekerja. Sebelum mengakhiri ucapan, beliau berkata:\nSaya berharap agar semangat sebegini terus mekar diterapkan dalam kehidupan seharian kita agar warga UiTM Perlis dapat berganding bahu dalam menjayakan visi dan misi kampus.\nMajlis ini turut dihadiri oleh barisan jawatankuasa eksekutif kampus, pensyarah-pensyarah dan staf sokongan UiTM." "UiTM Cawangan Perlis Sasar Matlamat Agenda Nasional Malaysia Sihat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Warga kerja yang sihat berupaya melahirkan pemikiran yang cergas. Berdasarkan kepentingan tersebut, UiTM Cawangan Perlis pada pagi ini menjalankan program Let\u2019s Get Fit (UniFit) di Kompleks Sukan UiTM Cawangan Perlis. Program ini telah disertai oleh 80 orang peserta. Program yang melibatkan aktiviti senaman dan kecergasan ini adalah sejajar dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat atau ANMS yang diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 7 Ogos 2020.\nProgram ini merupakan program di bawah Unit Sukan UiTM Cawangan Perlis dengan kerjasama Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UITM Cawangan Perlis. Antara aktiviti kecergasan yang diadakan menerusi program termasuklah senamrobik, dangdut, zumba dan HIIT. Antara objektif pelaksanaan program ini adalah untuk menyokong matlamat ANSM dalam menjadikan rakyat Malaysia sihat sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong hidup sihat. Program yang diadakan ini juga dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan warga kampus UiTM Cawangan Perlis.\nMenurut Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr. Ts. Shukor Sanim Mohd Fauzi, program kecergasan seperti ini diharapkan dapat memberikan impak kesihatan dan kercergasan yang baik kepada masyarakat khususnya kepada warga kampus. Sehubungan dengan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur atas pelaksanaan program yang dilihat mendapat sambutan yang baik dalam kalangan para peserta.\nTerdahulu,\u00a0semasa berucap dalam Majlis Pelancaran ANMS pada 11 November 2021,\u00a0 Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob mengharapkan keluarga Malaysia melakukan aktiviti fizikal, makan secara sihat dan menjaga kesihatan mental untuk mengukuhkan daya ketahanan badan bagi melawan penyakit. Atas kepentingan ini, ANMS turut diberikan penekanan dalam Rancangan Malaysia ke-12. YAB Perdana Menteri juga mengharapkan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan swasta serta rakyat Malaysia bersama-sama menyokong agenda ini kerana kesihatan rakyat merupakan satu keutamaan yang penting dalam melahirkan keluarga Malaysia yang sejahtera." "Perkampungan Penulis Muda Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan Gilap Bakat Anak Muda dalam Penulisan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPermatang Pauh \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang telah menganjurkan Perkampungan Penulis Muda Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan pada 13 hingga 15 September 2022. Bertempat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, sebanyak 130 orang murid sekolah menengah dari seluruh Malaysia berhimpun dalam program pembinaan penulis muda. Melalui program ini, mereka dibimbing untuk menghasilkan sajak dan anekdot yang bermutu serta menepati syarat.\nPenulisan sajak dibimbing oleh Haji Zainuddin Abdul, penulis dan deklamator tersohor di Pulau Pinang. Menurut beliau, tidak ada cara terbaik yang dapat digunakan oleh penulis atau bakal penulis untuk menulis. Namun begitu, terdapat panduan terbaik yang boleh dijadikan pedoman ketika menulis. Aspek-aspek yang menjadi teras kepada pembinaan sesebuah sajak seperti tema dan persoalan, aliran pemikiran, gaya bahasa serta diksi haruslah dihadam secara tuntas.\nNasihat Zainuddin kepada penulis muda, belajarlah daripada penulis-penulis tersohor yang telah berjaya dalam bidang penulisan jika ingin berjaya seperti mereka.\nSementara itu, penulisan anekdot pula dikendalikan oleh Dr. Husairi Hussin, pensyarah dari Universiti Utara Malaysia (UUM). Husairi menjelaskan bahawa antara buku yang paling laris dalam pasaran kini termasuklah buku dalam genre anekdot kerana sifatnya yang santai. Tambah beliau, sesebuah anekdot itu, lazimnya menggambarkan kisah yang benar-benar dialami oleh penulis atau melalui pemerhatian penulis. Walau bagaimanapun, biarpun anekdot itu sifatnya santai namun kesannya mampu membangkitkan emosi pembaca sehingga mengundang rasa sedih, sayu insaf dan sebagainya.\nHusairi juga mengingatkan kepada peserta agar menjauhi tindakan memplagiat atau meniru karya orang lain kerana akan menjatuhkan maruah diri sendiri.\nPada hari kedua, semua peserta dibawa menaiki Bukit Bendera untuk mendapatkan suasana yang berbeza daripada suasana bilik darjah. Mood suasana sangat mempengaruhi emosi dan idea seseorang penulis untuk berkarya.\nDalam ucapan penutupan, Timbalan Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia, Haji Mustafa Sidi, menyarankan kepada semua peserta supaya dapat meneruskan lagi usaha untuk bergelar penulis apabila kembali ke tempat tinggal masing-masing. Ujarnya lagi, diharapkan ilmu penulisan yang diperoleh melalui program ini dapat dikembangkan lagi pada masa akan datang.\nSemasa Majlis Penutupan, telah diumumkan peserta terbaik kategori lelaki dan perempuan. Adik Nurul Huda Abdul Wahab dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Syed Ahmad, Kuala Nerang, Kedah dan Adik Amir Muhtar Aziz Samshul Amry dari SMK Tun Syed Zahiruddin, Melaka telah dinobatkan sebagai peserta terbaik keseluruhan Perkampungan Penulis Muda Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2022 pada kali ini." "Pidato Rukun Negara Terjemah Keluarga Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBandaraya Melaka \u2013 Sejarah terdahulu menjadi panduan untuk Melaka menghargai kepentingan dan menjiwai semangat patriotisme dengan sentiasa menunjukkan taat setia kepada raja dan negara, serta mendukung Keluhuran Perlembagaan seperti yang termaktub dalam Rukun Negara.\nTidak hairanlah, Melaka mendahului semangat untuk memperkasa lima prinsip Rukun Negara menerusi penganjuran Pertandingan Pidato Rukun Negara peringkat kebangsaan bagi merebut Piala Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam yang berlangsung 15 September lalu.\nPertandingan edisi ketiga ini bertitik tolak atas inisiatif Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam sendiri menganjurkan pertandingan seumpama itu pada peringkat negeri pada tahun 2020, yang dilihat sebagai usaha berterusan memupuk sifat patriotisme, yakni memberikan kesedaran kepada masyarakat supaya sentiasa berbangga dengan mengangkat martabat Rukun Negara.\nPertandingan Pidato Rukun Negara sebagai Prinsip Perpaduan dan Kestabilan Rakyat juga selain menjadi platform untuk memperkukuh dan memperluas semangat patriotik. Selain itu, pertandingan ini memberikan kesedaran kepada masyarakat majmuk, khususnya generasi muda mengenai kepentingan memperjuangkan Rukun Negara sebagai alat penyatuan rakyat pelbagai kaum di negara ini.\nTuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Rustam semasa mengulas mengenai acara ini, berkata matlamat untuk memperkukuhkan kedudukan dan martabat Rukun Negara menerusi medium pidato semakin mendapat sambutan apabila menerima pelibatan ke seluruh negara, malah termasuklah pemidato dari Sabah dan Sarawak.\nKata beliau, pertandingan ini mampu membantu mengecilkan jurang perpaduan dalam kalangan rakyat yang dilihat semakin bergolak kerana kepelbagaian ideologi, pandangan dan kurangnya kefahaman dan penghayatan, terhadap prinsip Rukun Negara.\nMenerusi kaedah penghayatan prinsip Rukun Negara ini, hal ini dapat membantu mengeratkan hubungan sesama bangsa, yang menjadi pemangkin rakyat Malaysia berbilang kaum hidup bersama dengan aman dan harmoni di bawah satu bumbung dengan jenama Keluarga Malaysia.\n\u201cKita perlu fahami bahawa prinsip Rukun Negara secara mendalam mesti dipatuhi dan dihormati oleh seluruh rakyat Malaysia. Saya percaya ramai anak Malaysia hanya menghafal Rukun Negara namun mereka tidak memahami erti dan kandungannya.\n\u201cMalahan, pertandingan ini setidak-tidaknya memberikan ruang kepada mereka untuk memahami maksud sebenar Rukun Negara menerusi teks dan naskhah yang melalui proses kajian dan kemudiannya disampaikan kepada umum,\u201d ujar Tun.\nSementara itu, rata-rata peserta mengakui kebolehan berpidato merupakan antara kemahiran yang memberikan banyak manfaat antaranya melatih individu untuk menjana idea yang bernas serta melahirkan insan pemikir.\nMereka berpendapat berpidato dapat melatih minda untuk mengenali isu, memproses maklumat serta melatih keupayaan dan kemampuan menggunakan bahasa secara fasih, formal dan lancar serta meningkatkan kemahiran insaniah yang lengkap dan holistik.\nKemuncak Pidato Rukun Negara yang menerima penyertaan awal sebanyak 1229\u00a0 dari seluruh negara diadakan di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dengan menyaksikan 30 peserta peringkat akhir berentap menampilkan kepetahan masing-masing dengan cukup bersemangat dan penuh berwibawa.\nPenyertaan membabitkan enam kategori pertandingan antaranya sekolah rendah, sekolah menengah, institut pengajian tinggi (IPT), kategori bukan Melayu, penjawat awam dan kategori awam.\nBagi kategori sekolah rendah, johan menjadi milik Sekolah Kebangsaan\u00a0 (SK) Tun Syed Ahmad Shahabudin, diwakili Hanan Mohd Nazeri dan Auni Batrisya Rushdan yang membawa pulang piala iringan, wang tunai RM1500, sijil serta buku.\nManakala, SMA Al Ehya El Karim yang diwakili Siti Redwana Qasrina Rajes Khan dan Alya Nur Syafini Zulkifli menggunguli kategori Sekolah Menengah menewaskan empat sekolah lain, iaitu Sekolah Menengah Sains \u00a0Muzaffar Shah; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas; SMK Dang Anum dan SMK Agama Sharifah Rodziah.\nPasukan duo tersebut juga diumumkan juara bagi Anugerah Persembahan Terbaik dan Juara Keseluruhan, sekali gus membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM2000, sijil, buku dan piala pusingan.\nBagi kategori IPT dan kategori bukan Melayu pula menjadi milik penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nornikman Ag Kati dan Chan Chin Ho, masing-masing membawa pulang wang tunai RM3000 sijil, buku serta piala iringan.\nManakala johan bagi kategori institut pengajian awam dan kategori awam milik peserta dari Sabah iaitu Mohd Mujahid Halpi dan Mohd Fikri Mohd Jumat yang membawa pulang hadiah wang tunai, sijil, buku dan piala iringan.\nHadiah disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.\n\nTurut hadir, Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali, Exco Pendidikan dan Teknologi Negeri Melaka; Datuk Rais Yasin dan Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, Ngwe Hee Sem.\nPertandingan Pidato Rukun Negara sebagai Prinsip Perpaduan dan Kestabilan Rakyat selari dengan tema sambutan kemerdekaan pada tahun ini, iaitu \u201cKeluarga Malaysia Teguh Bersama,\u201d sebagaimana yang digagaskan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob." "Media Sosial: Pedang Bermata Dua?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPeranan media sosial dalam bidang politik, masyarakat, perdagangan, dunia pekerjaan, latihan dan pembangunan serta perhubungan sosial sememangnya luas dan tidak boleh dinafikan. Satu daripada peranan media sosial termasuklah dengan menggalakkan orang ramai membentuk dan menghargai hubungan. Kajian telah membuktikan bahawa penggunaan media sosial dapat mengukuhkan hubungan kekeluargaan, namun pada masa yang sama memberikan kesan negatif kepada interaksi yang lebih bermakna dalam keluarga.\nWalaupun terdapat unsur negatif, media sosial mempunyai banyak kelebihan lain termasuklah dari segi jalinan perhubungan, akses pendidikan, capaian maklumat dan sebagainya. Pengalaman penulis sendiri menunjukkan bahawa dalam aspek perhubungan, media sosial dapat menghubungkan pengguna tanpa mengira masa dan tempat. Apabila berada di luar negara selama bertahun-tahun, penulis sentiasa menggunakan sisi baik Internet dan media sosial untuk merapatkan jurang dalam hubungan kekeluargaan. Dengan memanfaatkan kemudahan yang disediakan oleh media sosial, penulis tidak menghadapi kejutan besar apabila tiba di Ghana pada awal Julai 2022. Dengan kesalinghubungan yang ada, ikatan kekeluargaan dapat dikekalkan melalui media sosial. Hal ini merupakan manifestasi konsep perkampungan global yang dibayangkan oleh Marshal McLuhan (1962) yang dimungkinkan oleh teknologi maklumat dan komunikasi.\nMedia sosial telah membantu pengguna kekal berhubung dan meredakan kejutan apabila melihat individu dan persekitaran secara fizikal selepas bertahun-tahun terpisah. Dengan adanya media sosial, pengguna dapat berhubung dengan keluarga dan rakan menerusi kaedah lebih mudah. Oleh itu, keberadaan media sosial dapat mengurangkan kesulitan dalam memikirkan tentang perubahan yang telah berlaku. Selalunya, seseorang itu membayangkan perihal tentang orang dan persekitaran yang telah berubah, terutamanya selepas bertahun-tahun berada di luar negara asal mereka. Oleh itu, jangkaan tentang apa-apa yang akan dilihat dikaburkan oleh gambaran mental yang dibuat tentang situasi itu.\nInilah yang penulis alami semasa perjalanan pulang ke Ghana pada awal Julai 2022, selepas 22 tahun tinggal di luar kampung halaman. Sebagai contoh, setibanya di rumah tempat penulis membesar di Kumasi, keadaan persekitarannya kelihatan jauh berbeza daripada 22 tahun lalu tetapi disebabkan sering melihatnya melalui video dan gambar di media sosial, penulis tidak begitu terkejut. Bukan itu sahaja, semasa penulis menziarahi keluarga terdekat dan sanak saudara yang lain, pandangan pertama berhubung dengan suasana tersebut tidak mengejutkan saya. Sepupu penulis juga bersetuju kerana kami sentiasa berhubung melalui media sosial dan oleh sebab itu tidak ada kejutan besar tatkala bertemu, terutamanya dari segi penampilan masing-masing. Penulis pula dengan mudahnya mengenali saudara mara yang lain. Hal ini merupakan hasil daripada keupayaan media sosial yang telah memungkinkan perkara ini bahawa teknologi, terutamanya Internet, mempunyai lebih banyak faedah daripada keburukan.\nBayangkan dunia tanpa Internet. Manusia pastinya akan semakin berjauhan. Pepatah \u201cyang jauh semakin dekat dan yang dekat semakin jauh,\u201d sedikit sebanyak sesuai dengan keadaan penulis yang tinggal di luar negara asal. Dengan adanya media sosial, penulis dapat berhubung dan berada dekat dengan keluarga di negara asal menerusi alam maya. Hal ini terbukti bahawa apabila tinggal di luar negara asal, penulis boleh berhubung dengan keluarga dan kawan-kawan secara langsung dengan menggunakan panggilan video.\nSelain itu, satu daripada impak positif media sosial termasuklah dalam penyebaran maklumat di dunia pada hari ini. Platform seperti Facebook, LinkedIn, Twitter, WhatsApp, dan lain-lain membolehkan pengguna untuk mengakses dan berkongsi maklumat dengan cara mengklik butang pada paparan peranti masing-masing. Maklumat merupakan kuasa dan perlu ada cara terbaik untuk menyebarkannya supaya masyarakat dapat memanfaatkan kuasa.\nSelain itu, media sosial juga berfungsi sebagai saluran maklumat, sekali gus membuka jalan kepada inovasi dan kejayaan melalui pembangunan pengetahuan dan kebolehan. Media sosial dapat melaporkan acara global dengan baik, menjadikan masyarakat lebih sedar tentang persekitaran mereka dari dalam dan di luar negara. Saya juga sentiasa mendapat maklumat tentang peristiwa yang berlaku di seluruh dunia dan di negara asal khususnya melalui media sosial. Berbeza daripada televisyen, radio, atau akhbar, media sosial memudahkan penyampaian maklumat tentang apa-apa yang berlaku di lapangan dengan cepat.\nSelain itu, media sosial merupakan satu daripada platform terbaik untuk meluahkan perasaan dan pendapat kita, terutamanya dengan keluarga dan rakan-rakan sama ada di dalam atau luar negara. Di samping itu, pengguna juga boleh mengasah kreativiti mereka melalui media sosial dan seterusnya dapat memberikan manfaat kepada orang lain.\nNamun begitu, tidak dinafikan bahawa media sosial sememangnya seperti pedang bermata dua. Di sebalik kelebihan, terdapat juga kelemahan tertentu, termasuklah kesan terhadap hubungan sosial-emosi, menyebabkan tekanan kepada perasaan seseorang, kekurangan masa yang berkualiti bersama-sama keluarga, buli siber, penggodaman, fikiran terganggu, ketagihan dan masalah perhubungan. Oleh itu, sebagai pengguna, kita harus sedar tentang kesan negatif tertentu di media sosial dan berhati-hatilah dalam menggunakannya.\nProf. Madya Dr. Ali Salman, Pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan." "Jalinan Kerjasama Malaysia-Thailand Mampu Beri Impak Positif- Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangkok \u2013 Perkembangan pesat dan perancangan yang diatur oleh Thailand melalui Kementerian Pengangkutan untuk bergelar hab logistik di ASEAN melalui projek perdana, Eastern Economic Corridor (EEC) dilihat berpotensi memberi peluang besar untuk dimanfaatkan oleh Malaysia termasuklah Perlis dan juga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang terletak di utara tanah air.\nEEC merupakan projek fasa ketiga pelabuhan laut dalam Laem Chabang dan sambungan lebuh raya menghubungkan lapangan terbang U-Tapoa di Rayong. Malah, bagi melengkapkan perancangan tersebut, Thailand difahamkan akan turut memberi tumpuan kepada perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan Thailand dengan Laos dan China serta terus ke beberapa buah negara di Eropah.\nDemikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang singgah di Bangkok sebelum berangkat pulang ke tanah air selepas berkenan mengetuai delegasi \u201cJelajah Ilmu Majlis Perwakilan Pelajar UniMAP ke Laos\u201d baru-baru ini.\nMempersembahkan ucapan selamat berangkat kepada baginda yang diiringi oleh Naib Canselor UniMAP, Prof. Dr. Zaliman Sauli di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi ialah Duta Besar Malaysia ke Thailand, Dato\u2019 Jojie Samuel dan Penasihat Pertahanan di Kedutaan Besar Malaysia Bangkok, Brigedier Jeneral Samsul Rizal Musa.\nMenurut baginda, sebagai negeri jiran, Perlis dan UniMAP wajar mencari peluang bagi menjalinkan pelbagai kerjasama dengan pihak negara Gajah Putih tersebut dalam meningkatkan hab logistik khususnya merangkumi aspek pengangkutan darat.\nTitah Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Canselor, UniMAP sebagai universiti awam teknikal yang berteraskan kejuruteraan juga boleh berkongsi kepakarannya mengenai idea penggunaan \u201cBio-Circular-Green (BCG) Economy Model\u201d dan juga teknologi pintar yang diketengahkan oleh Menteri Pengangkutan Thailand, Saksayam Chidchob pada Persidangan \u201cAsia-Pacific Economic Cooperation (APEC) Transportation Working Group\u201d yang bertemakan \u201cSeamless, Smart, and Sustainable Transport\u201d baru-baru ini bagi memudahkan perdagangan dan sekali gus menambah baik perkhidmatan pelancongan sedia ada.\nSelain itu, titah Tuanku Raja Muda lagi, Malaysia dan negeri Perlis terutamanya boleh proaktif dan melihat usaha Thailand ini sebagai platform untuk bersama-sama menyertai dan bergerak seiring dengan negara tersebut dalam meningkatkan taraf perkhidmatan sedia ada dan pada masa yang sama menjalinkan hubungan kerjasama strategik yang mampu memberikan impak yang positif kepada kedua-dua belah pihak kelak.\nDalam perkembangan lain terdahulu daripada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menyerahkan sumbangan tambahan Tabung Ibnu Sabil MAIPs bernilai THB24,000 (RM3,000) yang diterima oleh Setiausaha Ketiga Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Nazrul Firzadh Yunus bagi pihak Pejabat Kedutaan berkenaan. Sumbangan tersebut bertujuan membantu rakyat Malaysia yang berdepan situasi kecemasan, terputus bekalan sara diri atau terkandas untuk kembali ke tempat asal atau meneruskan perjalanan." "\u201cSumbangsih Buat Nusa Bangsa\u201d\u00a0Bergema di Temasya Budaya Negeri Perak 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIpoh\u00a0\u2013 Dengan gerak tubuh memukau, gema lantunan suara mantap serta penghayatan mendalam, Noorazli Sudin, Pembantu Makmal di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perak, Teluk Intan, telah dinobatkan sebagai johan dalam sayembara tersebut. Noorazli mendeklamasikan puisi yang berjudul \u201cSumbangsih buat Nusa Bangsa\u201d karya Jamilah Harun dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak 2022, yang diadakan di pekarangan Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Perak pada 20 Ogos 2022.\nNaib Johan pula disandang oleh jurulatih senam tari, Rozarina Mohd Rusli yang mendeklamasikan puisi\u00a0yang\u00a0berjudul \u201cCitra Jiwa Merdeka\u201d karya Abdul Karim Gulam,\u00a0manakala tempat ketiga dimenangi oleh Muhammad Shazrien Baharudin dengan puisi yang berjudul \u201cApakah Masih Gelintar\u201d karya Amiruddin Ali.\nBerdasarkan rekod, Noorazli pernah mewakili negeri Perak ke sayembara peringkat kebangsaan pada tahun 2019 dan\u00a0tahun\u00a02020 serta pernah memenangi tempat kedua dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Ke-34 Peringkat Kebangsaan pada tahun 2020.\n\u201cKemenangan saya pada kali ini merupakan rezeki dan hasil sokongan sahabat deklamator serta ahli keluarga saya sendiri yang membuatkan saya terus berani berdiri di pentas sayembara untuk membuktikan kecintaan saya dalam dunia puisi ini,\u201d ujar Noorazli yang bakal mewakili negeri Perak dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Ke-36 Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur pada bulan September kelak.\nSementara itu, hadiah sagu\u00a0hati pula telah dimenangi oleh Mohamad Abu Hasan (\u201cTanggam Warisan\u201d karya Shapiai Muhammad Ramly), Suhaila Zambri (\u201cJangan Gendang Bertingkah Lagi\u201d karya Ab Rani Embi) dan Wan Muhammad Huzaini (\u201cMilik Siapakah Tanah ini\u201d karya Mohd Ghazali Taib).\nJohan, naib johan dan pemenang tempat ketiga pula masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1000.00, RM700.00 dan RM500.00 berserta hadiah iringan. Pemenang sagu hati pula masing-masing menerima hadiah wang tunai RM200.00 berserta hadiah iringan.\nHadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Abdul Rashid Abdullah, Pengarah JKKN Perak dan Temasya Budaya Negeri Perak 2022 pula telah dirasmikan oleh Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Tempatan, Pengangkutan dan Pelancongan Negeri Perak Darul Ridzuan.\nPada kali ini,\u00a0 JKKN Perak turut mengisi sambutan bulan kemerdekaan dengan penganjuran Temasya Budaya Negeri Perak 2022. Antara aktiviti lain yang diadakan dan mendapat sambutan ramai termasuklah acara Sepak Raga Ratus dan Terompah Gergasi, Nyanyian Lagu Loghat Perak dan Klinik Seni Budaya." "Terus Berani Gemakan Mesej Perangi Rasuah \u2013 Titah DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDuli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbufdin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan berangkat menzahirkan titahnya bagi menyempurnakan pelancaran buku Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu bertempat di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.\nYang berikut diperturunkan titah baginda.\nSalam Sejahtera.\nKorupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu; Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika dihasilkan oleh Profesor Emeritus Tan Sri Dr. M. Kamal Hassan sebagai sumbangan menyokong kempen memerangi rasuah yang digerakkan oleh Rasuah Busters, bermula pada tahun 2021. Penulis memilih menukilkan pada halaman pembukaan buku, kata-kata Penyair Mesir, Ahmad Shauqi Bey, petikan:\nBangsa-bangsa akan kekal selagi akhlak mereka utuh; apabila akhlak mereka sudah rosak, mereka pun akan musnah\n2. Terdapat elemen keselarian kata-kata Ahmad Shauqi dengan ayat 53 Surah Al-Anfal yang bermaksud:\n\u00a0. sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkan Nya kepada sesuatu kaum, hingga kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri,.\u201d (Surah Al-Anfal 8:53)\nJuga dengan ayat 11, Surah Ar-Rad yang bermaksud:\n. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.\u201d.\u00a0 (Surah Ar Rad 13:11)\n3. Dalam prakata buku, terkandung catatan yang mencerminkan rasa jijik, marah dan muak penulis dengan dua fenomena dalam masyarakat Muslim di Malaysia masa kini:\nPertama: Korupsi politik dan kemunafikan parti-parti politik Melayu dan ahli politik.\nKedua: Perpecahan dan fragmentasi politik dalam masyarakat Muslim yang telah membawa negara kepada keadaan paling memalukan dengan politik yang tidak bermoral dan tidak beretika, di samping perpecahan masyarakat Muslim yang parah.\nKata penulis, \u201cBudaya politik, sistem politik, tingkah laku politik Melayu yang sudah menjadi korup ditambah pula dengan perpecahan dalaman yang semakin melebar memerlukan langkah-langkah transformasi yang komprehensif, asasi dan segera.\n.langkah-langkah transformasi itu mestilah berlaku pada tahap yang paling asasi \u2013 iaitu pada tahap kesedaran kerohanian, moral dan etika (yang terbit dari hati/kalbu) para pemimpin, pengikut, kader-kader dan penyokong politik.\nSatu paradigma transformasi kepimpinan yang baharu mesti diwujudkan kerana sistem dan paradigma kepimpinan yang lama, pada hemat saya (penulis), telah ternyata gagal dengan akibat-akibat yang sangat negatif ke atas umat Islam dan negara Malaysia\u201d\n4. Penulis memilih dua kata kunci, korupsi dan kemunafikan, secara berani, mengaitkan dua kata kunci tersebut dengan politik Melayu, sebagai tajuk buku. Orang Melayu, untuk sekian lama, dikenali dengan budaya berkias, bertamsil, beribarat dan bergurindam. Kerana mahu menjaga hati dan perasaan, orang Melayu lazimnya amat berhati-hati ketika mahu menyuarakan teguran, malah bersedia memukul anak sendiri meskipun marahnya pada menantu. Sesungguhnya, pendekatan penulis, merupakan pendekatan baharu di luar norma \u2013 di luar kotak budaya bangsa. Penulis berkemungkinan menghadapi risiko tidak disenangi oleh sebahagian daripada masyarakat Melayu, terutama yang terasa pedasnya cili. Namun penulis bersedia menghadapi risiko tersebut kerana mahu bangsanya disentakkan, agar bangun dari lena dan leka; semoga segera sedar bahawa bangsanya dan negaranya sedang menghadapi virus penyakit yang sangat memudaratkan; jauh lebih berbahaya daripada serangan virus COVID-19.\n5. Beta memilih menumpukan huraian mengenai rasuah. Rasuah ditakrifkan sebagai perbuatan salah guna kuasa untuk memperkaya atau memberikan kelebihan kepada individu, anggota keluarga, dan kenalan rapat ketika seseorang itu diamanahkan dengan tanggungjawab untuk mentadbir urus sumber awam. Profesor Emiratus Dr. Petrus van Duyne, penyelidik tersohor jenayah ekonomi, penyeludupan wang dan rasuah dari Tilburg University mentakrifkan rasuah secara saintifik:\n\u201cCorruption is an improbity or decay in the decision-making process in which a decision-maker consents to deviate or demands deviation from the criterion which should rule his or her decision-making, in exchange for a reward or for the promise or expectation of a reward, while these motives influencing his or her decision-making cannot be part of the justification of the decision.\u201c\nTransparency International menggariskan misi:\n\u201cCorruption undermines good government, fundamentally distorts public policy, leads to the misallocation of resources, and particularly hurts the poor. Controlling it is only possible with the cooperation of a wide range of stakeholders in the integrity system, including most importantly, the state, civil society, and the private sector.\u201c\nSetiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-Moon pada September 2007 menyatakan:\n\u201cCorruption undermines democracy and the rule of law.\u00a0 It leads to violations of human rights. It erodes public trust in government. It can kill.\u201c\n6. Rasuah dikenal pasti sebagai salah satu sebab utama yang membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat daripada mendapat perkhidmatan, serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik. Rasuah mengakibatkan pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, pengagihan kekayaan tidak seimbang dan ketirisan khazanah negara. Banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan, tetapi kerana rasuah, ada negara yang terbenam dalam kemelut kemunduran, ada negara yang tertimbus dalam lumpur kemiskinan. Kekayaan negara disalah guna \u2013 hasil mahsul lesap. Akibatnya, kemunduran terus melanda, kemiskinan terus merebak. Apabila tidak ada kesungguhan untuk membanteras rasuah, perlakuan rasuah akan tumbuh melebar, subur membesar, lalu diterima sebagai norma dan akhirnya meresap menjadi budaya, akhirnya memusnahkan sesebuah negara bangsa.\n7. Sesuatu penyakit akan dapat dirawat jika pesakit menyedari badannya berpenyakit, mengakui dia menghidap penyakit, bersedia membenarkan tubuh badannya diuji, diperiksa dan dinilai, terbuka menerima nasihat, teguran dan preskripsi, serta lebih utama, bersedia menerima rawatan walaupun terpaksa mengambil ubat yang pahit. Rasuah ialah penyakit dalam masyarakat, penyakit bersifat barah, penyakit yang menjalar sedikit demi sedikit, merosakkan satu persatu organ organisasi, hingga akhirnya melumpuhkan organisasi dan membawa maut jika dibiarkan merebak tanpa disegerakan rawatan kemoterapi.\n8. Daripada 180 buah negara yang dilakukan penilaian oleh Transparency International, Malaysia jatuh daripada kedudukan ke-57, mencatat skor 52 pada tahun 2020, ke kedudukan ke-62 mencatat skor 48, pada tahun 2021. Kini, Malaysia dikelompokkan dalam kumpulan dua pertiga negara yang mencapai skor di bawah 50.\n9. Oleh yang demikian kita tidak boleh memandang ringan, bersifat leka, memilih melakukan penafian, memikirkan segala justifikasi \u2013 bersilat dengan segala helah mahu menindakkan kewujudan gajah rasuah di hadapan mata. Penilaian keadaan rasuah, wajib dilakukan secara jujur \u2013 secara ikhlas, secara objektif \u2013 secara fakta, dijadikan bukti bahawa kita sangat serius mahu membendung, malah berhasrat mahu memerangi dan menghapuskan rasuah. Kita wajib bersifat berani mengakui, realiti sedang berlakunya amalan rasuah pada skala yang membahayakan, berdasarkan berulang kali teguran yang terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara dan pelbagai penemuan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (Public Account Committee).\n10. Di samping itu, bilangan aduan serta rungutan yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah serta pelbagai agensi dan jabatan, subjek yang terkandung dalam surat layang, berita yang terpapar dalam media, dan isu yang diuar-uarkan dalam media sosial, hendaklah dijadikan cermin dan dianggap petunjuk kepada situasi rasuah yang berlaku. Malah jalan raya berlopak, longkang tersumbat, bangunan runtuh, bumbung bocor, pencemaran alam, penerokaan haram, rumput dan taman yang tidak terurus, masing-masing mempunyai bahasa tersendiri, menyampaikan mesej akan standard tadbir urus yang sedang berlaku. Sikap dan tindak balas terhadap perkara berkaitan akan menentukan sama ada amalan rasuah mahu dibendung secara bersungguh atau dilakukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Sifat responsif, segera melakukan pembetulan bukan sahaja dapat membendung salah laku tadbir urus, malah akan meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.\n11. Rasuah bukan fenomena baharu. Dokumen tertua menyentuh subjek rasuah ditemui terkandung dalam Arthasastra, tulisan BC Kautilya di India, pada tahun 300 sebelum Masihi. Kautilya, mengenal pasti 40 kaedah salah guna wang yang dilakukan oleh pegawai awam untuk kepentingan peribadi. Ditemui dalam nota Kaultitya catatan berikut:\nJust as it is impossible not to taste honey or the poison that finds itself at the tip of the tongue, so it is impossible for a government servant not to eat up, at least, a bit of the king\u2019s revenue.\u00a0 Just as a fish underwater cannot possibly be found out either as drinking or not drinking the water, so government work cannot be found out (while) taking money (for themselves).\n12. Di negara China, dinasti Qing pada tahun 220 sebelum Masihi mengenal pasti konsep rasuah dan mengenakan hukuman berat terhadap mereka yang melakukannya. Hakikat yang wajib direnungi dan difahami, godaan berunsur rasuah berkembar dengan penciptaan manusia. Godaan berunsur rasuah merupakan godaan pertama yang dihadapi oleh manusia pertama ciptaan Ilahi. Rasuah berjaya bertapak, apabila amanah dipinggirkan. Kealpaan pertama meminggirkan amanah, dikisahkan untuk dijadikan peringatan dan pengajaran dalam ayat 115 Surah Taha yang bermaksud:\n\u00a0Dan sesungguhnya telah Kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka ia lupa (akan perintah itu), dan tidak Kami dapati padanya kemahuan yang kuat\u201d (Surah Taha 20:115)\nPerintah yang dimaksudkan terkandung dalam ayat 35 Surah al-Baqarah yang bermaksud:\nDan kami berfirman: Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini, dan makanlah makanannya yang banyak lagi baik di mana-mana sahaja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang yang zalim.\u201d (Surah al-Baqarah 2:35)\n13. Ketika Allah Subhanahu Wata\u2019ala murka kepada Nabi Adam Alaihissalam kerana terpengaruh dengan godaan Iblis, Baginda berada dalam kesenangan syurga, dilimpahi nikmat yang dijamin oleh Ilahi seperti maksud yang terkandung dalam ayat 118 dan 119 Surah Taha: \n\u201cSesungguhnya kamu tidak akan kelaparan di dalamnya dan tidak akan bertelanjang.\nDan sesungguhnya kamu tidak akan merasa dahaga dan tidak akan ditimpa panas matahari.\u201d (Surah Taha 20:118-119)\n14. Nabi Adam Alaihissalam terpedaya dengan godaan Iblis sedangkan Allah Subhanahu Wata\u2019ala telah memberikan peringatan dalam ayat 117 Surah Taha bahawa \u201cIblis ialah musuh\u201d. Baginda tertewas oleh janji palsu Iblis untuk memberikan kuasa, janji palsu \u201cpengekalan kuasa\u201d, seperti yang terkandung dalam ayat 120 surah berkaitan yang bermaksud:\nKemudian syaitan membisikkan fikiran jahat kepadanya, dengan berkata: Wahai Adam! Mahukah aku menunjukkan kepada mu pohon khuldi dan kerajaan yang tidak akan binasa?\u201d (Surah Taha 20:120)\n15. Betapa dinding ketahanan iman ditembusi kerana tarikan untuk mendapatkan kuasa. Nafsu yang gila akan kuasa nyata boleh menewaskan kewarasan akal. Pengukuhan iman ialah benteng pertahanan yang wajib dibina untuk meningkatkan daya tahan insan tergelincir kerana tarikan kebendaan, tarikan kemewahan, serta tarikan pangkat dan tarikan jawatan. Insan wajib diperingatkan firma Allah yang terkandung dalam ayat 35 Surah Al-Anbiyaa dan ayat 12-14 Surah al-Qiaamah yang bermaksud:\n\u201cTiap-tiap yang berjiwa akan merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan\u201d (Surah al-Anbiya 21:35).\n\u201cPada hari itu, kepada Tuhanmu sahaja terserahnya ketetapan segala perkara. Pada hari itu, manusia diberitahu akan apa yang ia telah lakukan, dan apa yang dia telah tinggalkan.\u00a0 Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri\u201d (Surah al-Qiaamah 75:12-14)\n16. Manusia hendaklah diinsafkan dengan kisah yang dijadikan pengajaran oleh Allah Subhanahu Wata\u2019ala. Iblis memilih untuk menyesatkan manusia melalui instrumen imbuhan berbentuk kuasa. Hari ini lebih ramai manusia yang telah disesatkan dengan imbuhan keduniaan berbentuk kuasa dan kekayaan. Manusia tanpa sedar, tanpa silu, tanpa malu, tanpa khuatir akan kebarangkalian telah tergelincir melakukan perbuatan berunsur syirik, kerana sanggup mengabdikan diri menjadi hamba kepada wang, kuasa, pangkat dan jawatan. Manusia mula mendewakan manusia lain dan bersedia menghambakan diri, menggadai prinsip serta menjual maruah dan harga diri kepada manusia lain kerana wang, kuasa, pangkat dan jawatan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah:\nAku pernah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda yang bermaksud: Akan datang suatu zaman, umat manusia tidak lagi mempedulikan rezeki yang diterima olehnya, sama ada daripada sumber halal atau pun haram.\n17. Telah ada manusia yang sanggup bersekongkol dan bersubahat melakukan kemungkaran serta tergamak berbohong, kerana lupa bahawa punca rezeki, kuasa, pangkat dan jawatan datangnya daripada Allah Subhanahu Wata\u2019ala. Rezeki, kuasa, pangkat dan jawatan sebenarnya ialah anugerah dan juga ujian daripada Ilahi. Sedarilah! Sumber kuasa yang diperoleh melalui sogokan belum terjamin dikembari dengan kesetiaan. Sifat sebenar insan akan terserlah ketika seseorang itu mendapat jawatan dan kuasa, betapa kata tidak lagi dikotakan, malah begitu cepat bertukar nada, berlainan irama, bersedia mengatakan yang hitam itu putih dan yang putih itu hitam. Watak sebenar insan akan terpamer apabila telah memiliki kekayaan dan harta lalu lenyap budaya kesederhanaan dan merendah diri, di sebaliknya menjelma sifat sombong dan gelagat bongkak.\n18. Manusia semakin lupa bahawa Allah ialah Tuhan Pemerintah sekalian alam yang Maha Berkuasa, memiliki kerajaan di atas segala kerajaan. Manusia semakin lupa sumber rezeki dan penghidupannya ditentukan oleh Allah Subhanahu Wata\u2019ala kerana itu umat Islam sewajibnya menghayati maksud yang terkandung dalam ayat 162, Surah al-An\u2019am: \nSesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan semesta alam\u201d (Surah al-An\u2019am 6:162).\n19. Jadikan pekerjaan sebagai ibadah disempurnakan atas nama dan kerana Allah Subhanahu Wata\u2019ala. Iblis telah berjaya menggelincirkan akidah manusia melalui instrumenkebendaan duniawi berbentuk kuasa dan kemewahan, maka benteng pertahanan manusia hendaklah dibina berpayungkan naungan Ilahi. Kepercayaan kepada Tuhan ialah prinsip pertama Rukun Negara. Insan yang mempercayai Tuhan, menyedari setiap perkara, sama ada niat begitu juga perbuatan, sama ada dilakukan secara terbuka mahupun secara tersembunyi, kesemuanya dalam pengetahuan Ilahi. Firman Allah dalam ayat 11, Surah ar-Rad turut memperingatkan:\nBagi manusia ada malaikat yang selalunya menjaganya bergiliran, dari hadapan dan dari belakangnya. Mereka menjaganya atas perintah Allah. ..\u201d (Surah Ar-Rad 13:11).\n20. Profesor Emiratus Kamal Hassan menamakan \u201cParadigma Kepimpinan Theosentrik\u201d sebagai paradigma baharu berdasarkan model kepimpinan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam yang antaranya mengandungi ciri-ciri berikut:\nPertama: Berpegang teguh kepada pandangan alam tauhid (ia itu kepercayaan dan keyakinan bahawa Allah Tuhan Maha Esa, Tuhan yang sebenar, menguasai, mengatur, mengurus, menjaga, memerintah dan menentukan bahawa manusia sebagai hamba Nya harus menyerah dan tunduk kepada kehendak Nya.\nKedua:\u00a0 Mencari untuk mendapatkan keredaan Ilahi dan kesejahteraan abadi pada hari akhirat dalam syurga Allah Subhanahu Wata\u2019ala.\nKetiga:\u00a0 Kesedaran tentang akauntabiliti secara langsung kepada Allah Subhanahu Wata\u2019ala.\n21. Dalam usaha melaksanakan perjuangan murni, yakinlah dan percayalah kepada kebesaran kuasa Ilahi. Hadapilah cabaran dengan semangat gigih dan hadapilah ujian dengan hati yang cekal. Semaikan kesedaran dan bina kekuatan. Tumpukan usaha kepada tenaga muda yang masih belum rosak mindanya. Para aktivis yang terlibat dalam gerakan memerangi rasuah, hendaklah memiliki semangat kental, menyamai semangat para pemuda Ashabul Kahfi, kerana sifat gigih mereka mempertahankan iman meskipun menghadapi pemerintah yang zalim, Allah Subhanahu Wata\u2019ala telah memberikan mereka perlindungan; mereka ditidurkan selama lebih 300 tahun, seperti yang diperihalkan dalam ayat 18 ke ayat 21 Surah al-Kahfi. \n22. Dalam gerakan melakukan yang makruf dan menentang yang mungkar, jangan sama sekali berputus asa memohon petunjuk dan kekuatan daripada Ilahi. Teruskan usaha dan teruskan berdoa memohon kemenangan daripada Allah Subhanahu Wata\u2019ala. Berdoa itu merupakan sebahagian daripada ibadat yang disyariatkan Islam. Allah sangat suka hamba Nya berdoa memohon dan mengharap kepada Nya. Orang yang senantiasa berdoa kepada Allah, menandakan orang itu menyedari kelemahan dirinya. Para pejuang yang mahu menegakkan kebenaran berlandaskan seruan Ilahi, hendaklah sentiasa melazimkan ibadah berdoa agar perjuangan mencapai kejayaan. Berpandukan fahaman, bahawa doa memiliki peranan istimewa dalam hidup insan, Beta telah menitahkan di negeri Perak, untuk dilengkapkan khutbah pada setiap solat Jumaat dengan dua doa berikut:\nPertama: Ya Dzal Jalali Wal Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah.\u00a0 Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.\nKedua:\u00a0 Ya Malikul Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.\n23. Ketika menghadapi mudarat yang melanda negara akibat perlakuan rasuah, kita memerlukan lebih ramai para murabbi tampil ke hadapan secara berani menggemakan mesej memerangi rasuah. Para murabbi berperanan amat penting untuk mendidik dan menyuburkan kesedaran kerohanian dan moral. Para murabbi perlu menegaskan pentingnya ummah memiliki sifat-sifat ikhlas kerana ummah yang ikhlas itu, tidak akan dapat didampingi atau dipengaruhi oleh Iblis seperti yang tersurat dalam ayat 39 dan ayat 40 Surah al-Hijr yang bermaksud:\nIblis berkata, \u201cWahai Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, (maka) aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan aku akan menyesatkan mereka semuanya\u201d\n\u201cKecuali hamba-Mu yang ikhlas (dibersihkan daripada sebarang syirik) dalam kalangan mereka\u201d (Surah al-Hijr 15:39-40)\n24. Melalui buku yang dihasilkan, Profesor Emeritus Kamal Hassan menyeru akan pentingnya dibina kekuatan dalaman \u2013 kekuatan rohani untuk memerangi rasuah. Buku \u201cKorupsi dan Kemunafikan Politik Melayu\u201d tidak akan mencapai tujuannya jika sekadar ditulis, diterbitkan, dilancarkan, dibeli dan diedarkan. Buku ini perlu dikembari dengan usaha bersungguh, berterusan dan berskala besar, menyampaikan mesej bahaya rasuah dan pentingnya rasuah dihapuskan, serta menyebarkan mesej pentingnya tanggungjawab diamanahkan kepada orang yang bebas daripada rasuah. Kandungan buku ini amat perlu disebarkan mesejnya ke setiap kota, mukim dan desa, dalam bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat biasa yang tidak berpendidikan tinggi.\n25. Beta menzahirkan penghargaan kepada Profesor Emeritus Tan Sri M. Kamal Hassan yang telah memenuhi satu tuntutan fardu kifayah, menghasilkan \u201cKorupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu\u201d, juga dizahirkan penghargaan kepada penerbit, Emir Research dan kepada Dato\u2019 Hussamuddin Haji Yaacub serta rakan-rakan Rasuah Busters.\n26. Ya Allah! Ya Rabbulalamin! Peliharalah negara yang telah Engkau kurniakan kepada kami ini daripada kemusnahan kerana perlakuan rasuah, dan berpandukan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud, \u201cJikalau Allah menginginkan supaya sesuatu bangsa itu sejahtera, maka Allah akan memberi bangsa itu pemimpin yang baik\u201d; kami pohonkan kepada Mu Ya Allah, kurniai kami pemimpin yang baik, pemimpin yang amanah, jujur dan ikhlas.\n27. Dengan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta melancarkan buku tulisan M. Kamal Hassan, Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu; Perlunya Disegerakan Transformasi Moral Etika.\nDemikianlah titah baginda pada majlis pelancaran yang diadakan pada 22 September 2022. Semoga titah baginda ini dijadikan pedoman oleh seluruh Keluarga Malaysia." "Kelab Cakna FBI, UMK Sertai Program International Coastal Cleanup Day 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBachok \u2013 Kelab Cakna Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan (FBI), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Malaysia Nature Society (MNS) dan Noblebeez Innitiatives telah menganjurkan program kesukarelawanan bagi membersihkan pantai bersempena dengan International Coastal Cleanup Day 2022 yang diadakan pada setiap tahun pada bulan September di seluruh dunia. Program kesukarelawanan pembersihan pantai terbesar di dunia ini merupakan hasil inisiatif sebuah badan NGO antarabangsa, iaitu Ocean Conservancy dan Reef Check Malaysia.\nProgram yang bermula pada jam 9:00 pagi di Pantai Pulau Belongan, Bachok ini telah disertai oleh lebih 500 orang sukarelawan yang terdiri daripada pelajar sekolah, guru-guru dan staf Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan, UMK. Objektif utama program ini adalah untuk memupuk sikap prihatin dan cakna masyarakat terhadap alam sekitar terutamanya melibatkan soal kebersihan pantai yang akan memberikan kesan terhadap hidupan laut.\nSelain daripada mengutip sampah sarap di sepanjang pantai, peserta juga turut diminta untuk memuat naik hasil kutipan sampah sarap ke dalam aplikasi Clean Swell. Data ini kemudiannya akan digunakan bersama dengan data-data lain dari seluruh dunia untuk dianalisis bagi tujuan penambahbaikan polisi kebersihan pantai secara global bagi menyokong agenda Sustainable Development Goals 2030 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Sejak bermulanya acara ini 30 tahun lalu, lebih daripada 17 juta orang sukarelawan telah mengutip sebanyak 158 juta kilogram sampah sarap di seluruh dunia." "Ekosistem Pendidikan Kini Membangunkan Mentaliti yang Positif\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPadang Besar \u2013 Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Perlis Tahun 2022 semalam di Pusat Kokurikulum Kem Dato Ariffin Mohd Nam Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Tasoh.\nDalam majlis tersebut, Raja Muda Perlis menitahkan bahawa pendidikan masa ini merupakan satu daripada ekosistem yang perlu saling melengkapi.\nPendidikan bukan hanya dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri, tetapi memerlukan komitmen semua pihak khususnya organisasi yang boleh berfungsi sebagai sistem sokongan. Sistem ini dapat memberikan ruang untuk kita dalam membangunkan guru yang mempunyai peribadi dan sikap yang positif. Seterusnya, guru yang baik berupaya untuk membangunkan sikap positif murid.\nSekiranya wujud ekosistem sebegini, maka objektif kita di negeri Perlis untuk menghasilkan rakyat yang bermentaliti kelas pertama dalam segala tindakan akan terlaksana.\nTitah baginda, pembangunan ekosistem yang mampan jelas terbukti dapat melahirkan rakyat yang berdaya saing, serta berupaya membangunkan negeri dan negara. Selain itu, ekosistem pendidikan yang berjaya tidak seharusnya tertumpu kepada empat sudut bilik darjah sahaja.\nTambah DYTM Tuanku Raja Muda lagi, sistem pembelajaran yang berkonsepkan \u201cEnvironment Based Learning\u201d, yakni pelajar boleh belajar di mana-mana sahaja dengan pengaksesan pelbagai bahan yang mudah seiring dengan sistem pendidikan kini yang telah beralih arah daripada \u201cExam Based Oriented\u201d kepada \u201cLearning Based Oriented\u201d.\nOleh hal yang demikian, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail percaya bahawa lima kategori pertandingan berorientasikan webinar Program Titian Kasih anjuran pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bersama-sama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis yang dipelopori pada kali ini wajar dilaksanakan untuk membina ekosistem yang lebih menyeluruh.\nKeberangkatan baginda ke program yang berslogankan \u201c#09Educators, ThinkBig 2022\u201d itu disambut oleh Pengarah JPN Perlis, Cikgu Naharudeen Othman.\nTurut hadir bersama-sama ialah Pengarah Urusan IX Ventura Tech. Sdn. Bhd., Iliyas Jamil yang menaja pertandingan Gamified." "UiTM Perlis Kongsi Kepakaran dengan Komuniti Orang Asli melalui ESKOM 22\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTasik Temenggor\u2013 Program Eksursi Rapat Sukarelawan dan Cakna Komuniti (EKSKOM 22) anjuran bersama Unit Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (ICAN), PJIMA Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, RIG Communicare dan Persatuan Prihatin Komuniti Negeri Perlis (Communicare) yang melibatkan masyarakat orang asli di Sungai Chiong, Tasik Banding telah berlangsung selama 3 hari.\nSebanyak 23 orang sukarelawan dalam kalangan staf UiTM Cawangan Perlis serta wakil-wakil daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) terlibat dalam misi ini. Sebanyak 12 kotak pakaian, 68 set kelengkapan sekolah dan sumbangan makanan telah disampaikan kepada penduduk di perkampungan orang asli berhampiran di samping menyantuni mereka dengan beberapa pengisian aktiviti. Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah sesi perkongsian kepakaran dan hasil penyelidikan sukarelawan serta kesedaran tentang kepentingan pendidikan, kesihatan, kebersihan dan teknologi semasa kepada masyarakat orang asli di situ. Program ini telah mendapat sokongan penuh dari YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, Rektor UiTM Cawangan Perlis. Beliau menyambut baik program seperti ini bagi memasyarakatkan UiTM dengan lebih luas pada peringkat nasional sekali gus membuktikan bahawa UiTM sentiasa prihatin terhadap masyarakat.\u00a0 Selain itu, dalam ucapannya, beliau juga menggalakkan warga kampus untuk terus menjalinkan kerjasama erat bersama-sama dengan NGO dan industri dalam kerja-kerja amal seperti ini dalam usaha membangunkan sosiobudaya dan ekonomi komuniti. Tambah beliau, inisiatif ESKOM 22 ini juga selari dengan inisiatif University for [email\u00a0protected] Malaysia atau UniTY yang dibentangkan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi melalui Amanat Menteri Pengajian Tinggi.\nAntara aktiviti lain yang dijalankan termasuklah Latihan Dalam Kumpulan (LDK), jungle trekking dan water-confident yang bertujuan untuk meningkatkan ketahanan diri dan jalinan kerjasama serta ukhuwah antara sukarelawan." "Adam Aqashah, \u201cPahlawan Mat Kilau\u201d di Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nPadang Besar \u2013 Muhammad Adam Aqashah Che Musrishah dinobatkan sebagai pemenang bagi Anugerah Pelakon Terbaik Pertandingan Video Pendek Pahlawan Mat Kilau bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Perlis Tahun 2022.\nBagi Pertandingan Video Pendek Pahlawan Mat Kilau kategori sekolah rendah diungguli oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Putra dan disusuli oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma bagi kategori sekolah menengah.\nBersempena sambutan ini, Raja Muda Perlis, DYTM\u00a0Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyampaikan hadiah kepada pemenang\u00a0yang disempurnakan di Pusat Kokurikulum Kem Dato Ariffin Mohd Nam, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Tasoh baru-baru ini.\nKeberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah JPN, Cikgu Naharudeen Othman.\nSelain itu, Raja Muda Perlis turut berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Berdasarkan Video Webinar Titian Kasih JPN bersama-sama\u00a0Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).\nMuhammad Qayyum Mohd Firdaus memenangi Pertandingan Mewarna bagi kategori darjah satu, dua dan tiga dari SK\u00a0Kayang. Seterusnya, dalam Pertandingan e-Poster untuk kategori darjah empat, lima dan enam diungguli oleh Nur Airis Safira Aidi juga dari sekolah yang sama.\nSeterusnya, Nurul Dalila Nadirah Mohd Syarim Adzhar, Nur Syazliyana Mohd Saiful dan Nurfarihah Mardiah Nurulaizamazizi dari Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra muncul juara dalam Pertandingan Reka Cipta Bahan Terbuang bagi kategori tingkatan satu dan tingkatan dua.\nBagi Pertandingan Menulis Esei kategori tingkatan tiga dan empat pula diungguli oleh Aina Dhafiyah Ahmad Firdhaus juga dari Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra.\nPemenang bagi Pertandingan Mengarang Puisi atau Syair untuk kategori tingkatan lima dan enam ialah Amirah binti Nukhman dari SMK\u00a0\u00a0Syed Alwi.\nBagi kategori Kawad Kaki Merdeka bersempena Pertandingan Sambutan Bulan Kebangsaan\u00a0dijuarai oleh SK\u00a0Beseri untuk sekolah rendah dan Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah bagi sekolah menengah.\nInovasi Steam Merdeka dimenangi oleh SK\u00a0Pendidikan Khas Perlis untuk kategori sekolah rendah, manakala SMK\u00a0Guar Nangka bagi kategori sekolah Menengah.\nSekolah Rendah Islam 1 pula memenangi Pertandingan Laluan Merdeka bagi kategori sekolah rendah diikuti SMK\u00a0Beseri bagi kategori sekolah menengah.\nTuanku Syed Faizuddun Putra turut menyampaikan hadiah kepada Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan." "Wadah Aspirasi KPM: Sistem Pendidikan Malaysia Ditambah Baik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 \u201cSebuah generasi yang hebat adalah generasi yang membina generasi yang berikutnya jauh lebih hebat.\u201d\nInilah antara sorotan kata-kata daripada\u00a0YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan semasa majlis Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan bersama-sama warga Kementerian Pendidikan Malaysia\u00a0(KPM).\nAntara perkara yang diketengahkan dalam ucapan beliau ialah peruntukan penyelenggaraan di sekolah. KPM menggunakan formula khusus untuk menyelesaikan perkara itu.\nSelain itu, KPM dalam situasi pandemik telah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid.\n\u201cDisebabkan ada kekangan yang dilalui murid mahupun guru dari segi kegunaan Internet atau ketiadaan peranti, KPM memberikan tanggungjawab kepada guru untuk mengajar mengikut keselesaan guru dan murid,\u201d katanya.\nDalam pada masa yang sama, pertukaran guru juga diubah semula dan dilakukan penambahbaikan. Kalau dahulu setahun dua kali sahaja permohonan pertukaran boleh dilakukan,\u00a0tetapi kini permohonan berlangsung secara berterusan. Malah, pertukaran boleh dilakukan sebanyak empat kali setahun.\nPengambilan guru secara besar-besaran juga dilakukan oleh KPM. Seramai 18\u00a0702 kekosongan dan lebih daripada 16\u00a0000 orang telah diambil sebagai guru.\n\u201cPendekatan ini berjaya kerana kita menggunakan kaedah kluster,\u00a0iaitu seseorang guru boleh sahaja mengajar subjek lain mengikut kluster yang telah ditetapkan,\u201d ujarnya.\nBeliau menambah, KPM bergerak sebagai satu kementerian untuk menyelesaikan masalah berkaitan ketidakseimbangan\u00a0antara seksyen dengan bahagian, maka pelbagai masalah boleh diselesaikan.\nBahagian berkaitan infrastruktur\u00a0juga banyak diselesaikan. Sebagai contohnya, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Saujana Putra yang terbengkalai dan telah disiapkan untuk kemudahan masyarakat sekitar.\n\u201cPembinaan sekolah\u00a0baharu juga dilakukan dengan pemilihan tapak,\u00a0iaitu sekolah di kawasan yang penduduk padat seperti Klang, Hulu Langat dan beberapa tempat di negeri Johor dan Pulau Pinang,\u201d tambahnya.\nDalam ucapan itu, beliau turut menambah bahawa semua bahagian dalam KPM bergerak sebagai satu pasukan.\nTanggungjawab dan amanah yang dipegang sangat besar. Malah, kita tidak akan merasa penat kerana segala yang dilakukan akan memberi impak yang besar.\n\nSumber foto: KPM" "Pertandingan Bola Sepak Piala Raja Perlis Tahun 2022 Sedia Hadapi Liga Besar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan perlawanan bawah 17 tahun di Stadium Tuanku Syed Putra Kangar, semalam.\nSekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan, yakni dikenali sebagai Sekolah Sukan Negeri (SSN Perlis) muncul sebagai johan Pertandingan Bola Sepak Piala Raja Perlis Tahun 2022 selepas menumpaskan SMK Mutiara Impian (SSN Pulau Pinang) dengan tiga gol berbalas satu.\nManakala bagi kategori bawah 14 tahun, SMK Mutiara Impian berjaya menundukkan SMK Syed Hassan dengan keputusan 1\u20130 dan juga kategori alumni, SMK Syed Hassan mengalahkan Penang Free School dengan 3\u20131.\nPenang Free School merupakan sekolah yang cukup dekat di hati usrah kerabat diraja negeri Perlis kerana dua raja pemerintah Jamalullail, iaitu Almarhum Tuanku Syed Putra dan Tuanku Syed Sirajuddin berserta pewaris takhta, Tuanku Syed Faizuddin Putra merupakan alumni sekolah Inggeris tertua di negara ini tersebut.\nDalam majlis tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah menyempurnakan penyampaian hadiah bagi piala pusingan, piala iringan serta medal-medal.\nKeberangkatan tiba baginda disambut oleh Penaung Pertandingan, Affendi Rajni Khan, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan (SSN Perlis) Ros Aza Che Ariffin dan wakil daripada Alumni The Old Frees Association Penang Free School, Andrew Lim.\nBerangkat sama mengiringi baginda ialah anakanda bongsu, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.\nProgram yang julung kalinya dianjurkan dan pada kali ini ditaja oleh Figos Sdn. Bhd, Yakult Malaysia dan Milo Nestle itu dicadangkan selepas ini akan menjadi acara tahunan secara timbal balik antara SSN Perlis dengan Penang Free School bagi memberikan peluang kepada murid kedua-dua buah sekolah untuk membuat latihan dan persediaan yang berterusan dalam sukan dan akademik.\nMaka demikian, baginda mengharapkan agar jalinan persahabatan dan ikatan silaturahim yang erat antara guru dengan murid, di samping bertukar-tukar idea dan kemahiran untuk meningkatkan prestasi murid dalam bidang sukan serta akademik dan seterusnya menyediakan pemain untuk menghadapi Liga PLD dan Liga KPM." "FCoEE Membawa Panji Kecemerlangan kepada Pendidikan Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan Penubuhan Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), dengan temanya \u201cPendidikan Efektif Alaf Baru\u201d.\nMembawa tema \u201cPendidikan Efektif Alaf Baru\u201d, gagasan ini dipercayai akan terus menjadi titik tolak kepada FCoEE yang membawa visi \u201cInsentif Minda Pemangkin Bangsa\u201d, titah baginda dalam majlis perasmian pelancaran pada petang semalam.\nFCoEE merupakan satu organisasi pusat kecemerlangan pendidikan yang diberi mandat dan amanah oleh MAIPs bagi membawa panji kecemerlangan kepada pendidikan Perlis.\nAntara strategi utamanya adalah untuk membantu membangunkan pemikiran masyarakat dan kebitaraan Perlis melalui penganjuran program pendidikan dan perubahan minda, khususnya kepada anak-anak, guru-guru dan ibu bapa melalui perantaraan sekolah.\nMenyentuh mengenai program yang dilaksanakan, Tuanku Syed Faizuddin Putra meminta kerjasama waris agar sentiasa peka dengan maklumat serta informasi yang disampaikan oleh pihak sekolah dan menyokong penuh sebarang perubahan yang dibawa ke arah kebaikan bersama.\nSesungguhnya, aliran arus perdana bersama pembawakan digitalisasi memerlukan kita lebih pantas memahami dan menggarap perubahan.\nPada masa yang sama, majlis ini turut diadakan bersempena dengan Majlis Perasmian Penutup Kursus Pemantapan Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Negeri Perlis 2022, yang disempurnakan oleh baginda di Dewan Seri Anggerik, Hotel Seri Malaysia Kangar.\nTuanku Raja Muda bertitah,\nFCoEE, PIBG dan pihak sekolah juga perlu sederap dan selangkah bersama-sama berusaha ke arah kecemerlangan sekolah yang diterajui masing-masing selaku YDP PIBG. Mencapai kejayaan seperti yang diimpikan bukan sesuatu yang mudah dan pastinya memerlukan pengorbanan serta komitmen pelbagai pihak.\nKeberangkatan tiba Tuanku Raja Muda disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran MAIPs merangkap Pengerusi FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin yang mengilhamkan pusat kecemerlangan ini, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Cikgu Naharudeen Othman, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Perlis, Profesor Madya Dr. Abdul Jalil Ramli.\nSementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan berangkat melawat reruai pameran sempena kursus yang julung kalinya dianjurkan sebegini." "Program K.I.D.S ke Arah Melestarikan Pendidikan Berkualiti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2013 Kem Didik Aspirasi (K.I.D.S) merupakan sebuah program perkongsian strategik pintar (Smart Strategic Partnerships) antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Yayasan Didik Negara (YDN) dan Kayaking Malaysia diadakan selama tiga hari di sini, yakni Stesen Penyelidikan Marin (MARES) yang merupakan sebuah stesen penyelidikan laut milik UiTM Cawangan Perlis bertempat di Pulau Tuba, Langkawi dipilih sebagai lokasi pelaksanaan program pada kali ini.\nProgram yang disertai oleh 100 orang pelajar tingkatan 4 dan tingkatan 5 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkawi dan SMK Putrajaya ini dilihat dapat membantu pelajar membina keyakinan diri, di samping memupuk nilai kerjasama dalam kalangan pelajar.\nAntara aktiviti yang dijalankan, termasuklah ceramah pemuliharaan laut, jejak hutan dan ikhtiar hidup, mini ekspedisi kayak, turun cenuram dan refleksi diri.\nBerdasarkan tinjauan, program K.I.D.S dikatakan demikian mampu meningkatkan keyakinan diri dan sifat berani pelajar, malah membentuk jati diri mereka yang seimbang dari segi intelek, rohani dan emosi.\n Profesor Dr. Mohd Azlan Mohd Ishak yang mewakili YBhg. Rektor dalam ucapannya berkata, UiTM Cawangan Perlis amat mengalu-alukan segala bentuk program kerjasama strategik bersama pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi melestarikan sistem pendidikan berkualiti untuk memenuhi aspirasi negara.\nSementara itu, beliau turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada YDN dan Kayaking Malaysia atas kerjasama strategik dalam menjayakan program pada kali ini. Pihak UiTM Perlis berharap agar kerjasama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang bagi memupuk kerjasama dengan pelbagai lapisan masyarakat untuk menyalurkan sumbangan ke arah melestarikan pendidikan berkualiti.\nTahniah kepada anak-anak yang telah mengikuti program ini selama tiga hari dua malam dengan jayanya!\u201d ujar Profesor Dr. Mohd Azlan Mohd Ishak.\n\nYBhg. Puan Norazura Tadzim, Setiausaha Sulit Kanan YB Menteri Kanan Pendidikan mewakili YB Senator Dr. Mohd Radzi Md Jidin hadir bagi menyempurnakan majlis penutup program.\nTurut hadir bersama-sama dalam program ini ialah Pegawai Khas YB Menteri Pendidikan, Puan Rohaida Abd Manaf; Timbalan Pengarah Pendidikan Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Tuan Sabri Osman; Timbalan Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi (Perancangan), Tuan Haji Mohamad Kamal Hashim; Ketua Latihan dan Pembangunan Kayaking Malaysia, Dr. Rosman Bin Karim; wakil YDN, Dr. Shelly Elina Shaharuddin, serta wakil daripada SMK Putrajaya dan SMK Pulau Tuba." "Deklarasi Aku Janji PIBG Perlis dan PIBKS Mendapat Perkenan Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKangar \u2013 Bersempena dengan Majlis Perasmian Penutup Kursus Pemantapan Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Negeri Perlis 2022, warga Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) bersama-sama Persatuan Ibu Bapa dan Guru Negeri Perlis mendeklarasikan bacaan janji dan ikrar demi menjulang tinggi pendidikan di Negeri Perlis.\nBertempat di Dewan Seri Anggerik, Hotel Seri Malaysia pada semalam, Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah berkenan berangkat menyempurnakan perasmian tersebut.\nTuanku Raja Muda menzahirkan harapan agar program sebegini menjadi satu kemestian bagi FCoEE dan PIBG melalui JPN untuk berganding bahu dan kepakaran bagi menjamin impak kecemerlangan anak-anak pewaris bangsa di negeri Perlis ini.\nDeklarasi aku janji tersebut ditandatangani secara bersama oleh PIBKS Perlis, Profesor Madya Dr. Abdul Jalil Ramli bersama-sama dengan Pengerusi Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCOEE) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin pada ahad petang.\nHadir bersama-sama ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Cikgu Naharudeen Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd. Nazim Mohd. Noor." "Mohamad Anwar Jamil\u00a0Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Negeri Perlis\u00a02022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar\u00a0\u2013 Mohamad Anwar Jamil telah dinobatkan sebagai johan dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-36 Peringkat Negeri Perlis 2022, di Auditorium Perpustakaan Awam Negeri Perlis. Dengan mempertaruhkan puisi yang berjudul \u201cDarah yang Terpercik di Baju\u201d karya Norazimah Abu Bakar, Anwar berjaya menampilkan persembahan bersahaja dengan penghayatan yang amat mendalam ketika menyampaikan puisi tersebut. Tambahan pula, dengan pemakaian busana tradisional dan tanjak berwarna hitam membuatkan para penonton terus terpukau dengan puisi yang dideklamasikan.\nSementara itu, Afifah Abdullah pula menyandang naib johan dalam sayembara tersebut. Beliau mendeklamasikan puisi yang berjudul \u201cLentera Zaman\u201d karya Mahaya Mohd Yassin. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Nur Nubailah Nasri dengan puisi yang berjudul \u201cJangan Gendang Bertingkah Lagi\u201d karya Ab Rani Embi.\nSelain itu, hadiah sagu hati dimenangi oleh Muhammad Jorasmin Mat Isa, M Shahadat Ali Nordin (masing-masing mendeklamasikan puisi yang berjudul \u201cMilik Siapakah Tanah Ini\u201c karya Mohd Ghazali Taib), Nor Fa\u2019alina Abu Hassan (\u201cLandasan\u201c karya A. Aziz Deraman) dan Mohammad Firdaus Rooslee (\u201cCitra Jiwa Merdeka\u201c karya Abdul Karim Gulam).\nSayembara ini merupakan anjuran Persatuan Penulis Perlis (3P) dengan kerjasama GAPENA dan Perpustakaan Awam Negeri Perlis dan dirasmikan oleh Datuk Seri Haji Hasnul Zam Zam Haji Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis. Yang turut hadir ialah Encik Rusdi Yahya, Timbalan Setiausaha Negeri Perlis (Pembangunan), Dr. Faizal Kamarudin, Timbalan Setiausaha Negeri Perlis (Pengurusan), Encik Rahimi Arifin, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara.\nJohan sayembara membawa pulang hadiah wang tunai RM1000.00 berserta hadiah iringan. Naib johan dan pemenang tempat ketiga pula menerima hadiah wang tunai RM700.00 dan RM500.00 berserta hadiah iringan. Bagi pemenang hadiah sagu hati pula masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM200.00 berserta hadiah iringan.\n\u201cDeklamator ialah pencerita di atas pentas kepada khalayak melalui suara, mimik muka, penghayatan dan bahasa tubuh\u201d, ujar Encik Puzi Hadi, yang bertindak sebagai ketua hakim ketika memberikan ulasan keseluruhan bagi sayembara tersebut yang turut disiarkan secara langsung dalam media sosial 3P." "Penulis Berbilang Kaum dalam Kelompok Keluarga Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDunia kesusasteraan kebangsaan tidak kurang pentingnya dalam menyumbang dan menyemai semangat perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini sehingga menjadi sebuah keluarga besar.\nOleh itu, idea dan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob dengan tujuan untuk merapatkan lagi hubungan pelbagai kaum di negara ini sememangnya selari dengan cita-cita dan semangat penggiat sastera tanah air.\nPada hakikatnya, sejak dahulu lagi, usaha ke arah itu telah dimainkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku badan induk yang dipertanggungjawabkan dalam usaha mengembangkan bahasa dan sastera kebangsaan.\nSebagai contoh, lebih dua dekad yang lalu, iaitu pada 27 hingga 29 Mei 1994, Bahagian Sastera, DBP yang pada ketika itu diterajui oleh ketuanya, Sasterawan Negara Datuk Dr. Anwar Ridhwan dengan kerjasama Kelab Sastera DBP yang dipimpin oleh saudara A. Ghani Abdullah selaku penyelaras kelab telah menganjurkan Bengkel Penulisan Berbilang Kaum 1994. Bengkel tersebut diadakan di Pusat Membina Semangat, Pasir Panjang, Port Dickson melibatkan penyertaan penulis dari pelbagai kaum.\nAntara tujuan penganjuran bengkel tersebut ialah untuk mencungkil bakat di samping memberikan pendedahan yang luas dalam bidang penulisan kreatif bahasa Melayu kepada penulis dari pelbagai kaum di negara ini. Sambutan menggalakkan diterima dengan 30 orang peserta yang telah terpilih menyertainya.\nPeserta yang terpilih ialah mereka yang telah memenuhi syarat yang ditetapkan oleh penganjur, iaitu setiap peserta perlu menghantar dua buah puisi dan sebuah cerpen berbahasa Melayu untuk dinilai dan dipertimbangkan. Bayaran pendaftaran serendah RM20.00 seorang dikenakan manakala urusan pengangkutan, penginapan dan makanan kesemuanya disediakan oleh pihak penganjur.\nTurut menyertai bengkel tersebut ialah saudara Uthaya Sankar SB, pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan, Rabeah Mohd Ali serta beberapa orang lagi yang aktif menulis selepas itu, manakala komposer Julfekar Ahmad Shah pula merupakan seorang daripada ahli jawatankuasa induk bengkel tersebut.\nSepanjang tiga hari bengkel berlangsung, peserta telah dibimbing dan didedahkan dengan pelbagai topik berkait puisi dan cerpen yang merangkumi teori,teknik penulisan, proses penciptaan dan pengalaman diri oleh penulis-penulis jemputan yang masing-masing diberikan dua slot setiap seorang untuk mengemudi bengkel tersebut.\nRata-rata peserta teruja kerana bengkel tersebut dibimbing oleh penulis-penulis mapan tanah air yang tidak asing ketika itu, iaitu Sasterawan Negara, Dato\u2019 Seri A. Samad Said, Allahyarham Dr. Othman Puteh dan Allahyarham Prof. Madya Kamaruzzaman Abdul Kadir atau lebih dikenali dengan nama penanya Dharmawijaya.\nDatuk Seri A. Samad Said dalam ceramahnya antara lain menyarankan supaya setiap penulis agar tidak dikuasai oleh bahasa sebaliknya menguasai bahasa. Penulis harus pada setiap detik menggunakan bahasa dan memperbanyakkan membaca karya sastera kerana dengan membaca akan timbul keinginan untuk menulis.\n\nMenurut beliau lagi, penulis tidak harus menyendiri sebaliknya perlu terdedah kepada manusia dan kehidupan serta usah takut pada kritikan kerana jelas beliau, seseorang penulis tidak semestinya tahu segala-galanya tentang dunia.\nBeliau turut berkongsi mengenai buku-buku yang pernah mempengaruhinya seperti War and Peace karya Leo Tolstoy, Of Mice and Men karya John Steinbeck, Doctor Zhivago oleh Boris Pasternak, The Great Gatsby oleh F. Scott Fitzgerald dan Bumi Manusia yang ditulis oleh Pramoedya Ananta Toer ketika ditahan di Pulau Buru, Indonesia.\nDr. Othman Puteh pula melalui kertas kerja bertajuk \u201cPenulisan Cerpen: Mengenal Diri, Mengilas Kembali dan Mengalur Visi\u201d \u00a0berpendapat kebanyakan penulis bukan Melayu pada ketika itu menghasilkan karya kreatif dengan menyerlahkan warna lokal tersendiri, terpencil dan agak kurang merealisasikan realiti objektif tentang kewujudan kepelbagaian penduduk yang saling berinteraksi.\nSoal beliau, apakah situasi tersebut menggambarkan khalayak penulis belum benar-benar mengenali diri sebagai suatu hakikat hidup dalam negara pelbagai kaum seperti Malaysia? Para penulis turut dituntut supaya sentiasa berada dalam arus perdana mobilisasi sejajar dengan transformasi waktu, perkembangan dalam konteks politik, ekonomi, budaya dan ledakan kemajuan dalam bidang ilmu pengetahuan.\nBagi Dharmawijaya yang membentangkan kertas kerja bertajuk \u201cPenciptaan Puisi: Catatan dari Daerah Pengalaman\u201d, penyair itu dilahirkan dan perlu dibentuk. Hal tersebut membawa maksud setiap penyair selain daripada memiliki bakat, harus pula dididik dan dibimbing. Keyakinan beliau itu timbul hasil daripada pengalaman yang telah dilaluinya.\nDalam kertas kerja tersebut juga, Dharmawijaya turut menekankan mengenai persediaan-persediaan untuk menjadi seorang penyair dan kemudiannya dihubungkan dengan proses serta teknik penulisan sajak atau puisi. Menurut beliau, untuk menjadi penyair, seseorang itu harus mengasuh diri menjadi pemerhati yang tajam, pentafsir yang bijaksana dan kritis. Selain memiliki kekayaan pengalaman, penulis juga, tambah beliau, perlu memiliki kekayaan bahasa sebagai alat bagi sesebuah puisi.\nPada akhirnya, dapat dirumuskan bahawa bengkel tersebut berjaya mencapai objektifnya dengan kesemua peserta telah memberikan komitmen tinggi dan bersama-sama terlibat secara aktif dari awal hingga ke akhirnya.\nPenulis seorang daripada peserta Bengkel Penulisan Berbilang Kaum 1994 anjuran DBP." "Kawasan Rukun Tetangga sebagai Model Pelaksana Program Sosial Terancang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKawasan Rukun Tetangga (KRT) merupakan satu jawatankuasa sukarela yang dinaungi dan dipantau oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di bawah kawalan Kementerian Perpaduan Negara. KRT ditubuhkan selepas peristiwa 13 Mei 1969 yang telah mengorbankan banyak nyawa. Peristiwa ini bukan sahaja telah memberikan kesan buruk terhadap negara pada ketika itu, malah menimbulkan sikap prejudis dan curiga sehingga menyebabkan hubungan antara etnik semakin renggang. Oleh sebab itu, KRT merupakan inisiatif pihak kerajaan untuk memupuk kesepaduan sosial dalam kalangan masyarakat agar keharmonian dapat dicapai. Peristiwa ini memberikan kesedaran kepada pelbagai pihak akan kepentingan mengurus masyarakat daripada peringkat akar umbi. Ekoran itu, pada 29 Ogos 1975, KRT telah dirasmikan oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia kedua di KRT Kampung Kasipillay, Kuala Lumpur. KRT ini diwujudkan di bawah Peraturan-Peraturan Perlu (Rukun Tetangga) 1975 (P.U. (A) 279/75)\u00c2\u00a0 yang diadakan di bawah Ordinan Darurat 1969.\nPada awalnya, KRT berfungsi untuk memastikan keselamatan penduduk di kawasan kejiranan dan rondaan wajib telah diperkenalkan kepada penduduk yang berusia 18 hingga 55 tahun. Selepas itu, pada tahun 1984, konsep KRT berubah kepada konsep kejiranan yang menjurus kepada program meningkatkan semangat kejiranan dan perpaduan dalam masyarakat setempat. Kemudian, pada tahun 2001, hala tuju KRT beralih kepada konsep pembangunan komuniti sejajar dengan perkembangan semasa. Hala tuju KRT ini diterjemah melalui kelompok KRT yang meliputi Jiran Wanita, Jiran Usia Emas, Jiran Muda dan Tunas Jiran. Pada tahun 2010 pula, KRT telah mengalami fasa transformasi selaras dengan Program Transformasi Kerajaan pada ketika itu apabila Model Transformasi Rukun Tetangga yang berpaksikan kepada lima teras, iaitu perpaduan, ekonomi, keselamatan, pendidikan dan kualiti hidup diperkenalkan. Program yang dianjurkan oleh KRT berdasarkan teras-teras tersebut. Lima teras ini merupakan antara kerangka yang dikenal pasti mampu mencapai matlamat negara untuk melahirkan masyarakat majmuk yang hidup dalam suasana harmoni.\n\nPerkembangan KRT ini telah menyebabkan masyarakat semakin memahami akan kepentingan organisasi sosial dalam menguruskan masyarakat majmuk secara berstruktur. Oleh itu, kadar pertambahan KRT semakin meningkat saban tahun dan kini terdapat sebanyak 8330 KRT di seluruh negara. KRT mempunyai kelompok komuniti yang berperanan penting dalam membantu meningkatkan tahap kualiti hidup masyarakat KRT. Kelompok ini merupakan tulang belakang dan bertanggungjawab dalam memastikan program dapat dijalankan secara berterusan. Kelompok komuniti diperkenalkan sebagai salah satu langkah memperkasakan KRT melalui penglibatan masyarakat mengikut peringkat umur, iaitu Jiran Wanita, Jiran Muda, Jiran Usia Emas dan Tunas Jiran.\nMaka, tahun ini pihak kerajaan telah menyediakan Geran Rukun Tetangga sebanyak RM50 juta bagi memperkukuh peranan KRT dalam komuniti melalui pelaksanaan Agenda Kerja Komuniti Rukun Tetangga yang merangkumi Gerak Kerja KRT Sejahtera, Gerak Kerja KRT selamat, Gerak Kerja KRT Sihat serta Gerak Kerja KRT Bersih dan Indah. Sesuai dengan tema Mendepani Cabaran untuk Kesejahteraan Keluarga Malaysia, pelaksanaan inisiatif berdasarkan isu serta cabaran dalam komuniti supaya KRT peka dan prihatin dengan perkembangan semasa, selain sentiasa dekat di hati Keluarga Malaysia.\n \nYang menariknya, program-program yang diadakan di KRT dilakukan secara terancang dan dipantau oleh JPNIN. Biasanya KRT yang aktif akan merangka dan mengatur program sepanjang tahun. Manakala, penyelia KRT akan bertindak membantu memberikan idea dan nasihat kepada KRT. Setiap program yang dilakukan didokumenkan dan diserahkan kepada JPNIN. Antara program yang dilaksanakan ialah program sambutan perayaan, kemerdekaan, sukan, rekreasi, kebudayaan, gotong-royong, keagamaan, kebajikan, kesihatan, pendidikan, keselamatan dan ekonomi. Pihak JPNIN telah menyediakan modul bagi memudahkan urusan ahli jawatankuasa KRT melaksanakan program secara sistematik dan berterusan. Program yang dianjurkan tersebut bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang berdikari, progresif dan berdaya saing malah mewujudkan suasana harmoni.\nProgram yang dianjurkan oleh masyarakat KRT boleh dibanggakan kerana mereka melakukannya secara sukarela dan bertungkus lumus menjayakan setiap program. Malah ada dalam kalangan ahli KRT menggunakan kewangan sendiri demi menggerakan program yang dirancang. KRT turut menjalin usaha sama dengan organisasi-organisasi lain bagi mendapatkan sumbangan kewangan. Sebagai contoh, KRT Kg. Gong Baru, Kuala Terengganu telah menerima sumbangan kewangan daripada syarikat Kasut YOU sebanyak RM10 000 setiap tahun. Hal ini bagi menjamin kelangsungan program secara berterusan. Program-program ini telah memberikan impak yang cukup besar kepada hubungan masyarakat. Walaupun berbeza agama, bangsa dan bahasa, mereka dapat menjalin hubungan kerjasama, saling membantu dan mengamalkan sikap bertoleransi. Perkara ini menunjukkan hubungan positif yang boleh mewujudkan rasa kekitaan dan kebersamaan dalam masyarakat. Tanpa program-program sosial sebegini, tentunya sukar untuk memupuk hubungan kejiranan yang baik.\nNamun begitu, penglibatan golongan remaja dalam program KRT semakin lama semakin berkurangan kerana mereka lebih cenderung untuk melakukan aktiviti luar bersama-sama dengan rakan mereka. Oleh sebab itu, pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh KRT untuk menarik minat golongan remaja dengan menganjurkan program kesukanan dan rekreasi sesuai dengan minat mereka. Sebagai contoh pertandingan futsal, bola sepak, sepak takraw, memancing, sukan tradisional, reka cipta dan sebagainya. Hadiah juga disediakan bagi memberikan semangat dan dorongan kepada golongan remaja untuk menyertai program ini.\nFungsi KRT seharusnya disebar luas bagi memberi manfaat yang lebih besar kepada masyarakat dan negara. KRT boleh dijadikan sebagai model pelaksana program sosial terancang kerana keupayaannya memperkasa fungsi masyarakat. Bahkan, KRT boleh dijadikan sebagai aset bernilai dalam negara kerana peranannya dalam memupuk kesepaduan sosial yang dapat mempengaruhi kestabilan sosiopolitik, ekonomi dan kepesatan pembangunan negara." "Diskusi Buku Bersempena dengan DMK 2022 Peringkat Negeri Perlis: Buku dan Membaca Nadi Kehidupan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) bersama-sama Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis dan Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN) telah menganjurkan Diskusi Buku Bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2022 Peringkat Negeri Perlis pada 27 September 2022. Bertempat di Auditorium Berunai, IPG Kampus Perlis, program ini diadakan untuk membicarakan tiga buah buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan tujuannya adalah untuk mengangkat buku serta penulisnya agar lebih dikenali dan didekati oleh masyarakat.\nTiga buah buku yang dipilih, iaitu Kumpulan Puisi Dongengan Anjing-anjing karya Solihin Osman, Kumpulan Pantun Pak Nazel 3 karya Nazel Hashim Mohamad dan Hegemoni Kepengarangan A.Samad Ismail tulisan Dr. Azhar Wahid.\nKetiga-tiga buku ini dibicarakan oleh pakar bidang dalam genre buku-buku tersebut. Kumpulan Puisi Dongengan Anjing-anjing dibicarakan oleh Dr. Mohd Amir Mohd Zahari dan Dr. Norshah Aizat Shuaib, manakala Kumpulan Pantun Pak Nazel 3 dibahaskan oleh Dr. [email\u00a0protected] Taisin dan Dr. Mohamad Shaidan. Buku terakhir, Hegemoni Kepengarangan A. Samad Ismail dibincangkan oleh Dr. Nor Anita Mat Isa dan Dr. Roslan Chin.\nDalam ucapan perasmian, Pengarah IPG Kampus Perlis, Tuan Haji Abdul Muhaimin Osman menegaskan bahawa usaha pencarian ilmu boleh juga didapati melalui pembacaan buku-buku terjemahan. Ujarnya lagi, buku-buku terjemahan yang diusahakan oleh Malaysia masih berkurangan berbanding dengan Indonesia sehingga terdapat beberapa hal yang dapat kita fahami melalui pembacaan buku-buku terjemahan dari Indonesia.\nProgram Diskusi Buku ini diserikan dengan bacaan puisi oleh penulis Kumpulan Puisi Dongengan Anjing-anjing, Solihin Osman, Presiden BUDIMAN, Dr. Halim Ali dan saudara Ikmal Hakim Abd. Nasir." "Isu Pengemis: Apakah Penyelesaiannya?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nFenomena pengemis umpama tiada kesudahannya. Fenomena ini seakan-akan suatu proses kitaran yang bermula daripada ibu bapa dan diambil alih atau diwarisi oleh generasi yang berikutnya. Jika dilihat dari sudut ilmu sosiologi, sekiranya sesebuah keluarga menjadikan aktiviti mengemis sebagai suatu pekerjaan, bermakna mereka telah menjadikannya sebagai satu budaya, apabila budaya itu merupakan sesuatu yang dipelajari dan diikuti oleh generasi seterusnya.\nSungguh pun bilangan pengemis yang terkini sukar diketahui disebabkan kekurangan data, namun statistik yang diperoleh dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada tahun 2020 menunjukkan bilangan pengemis yang direkodkan adalah sebanyak 2018 orang. Seanyak 1786 orang pengemis merupakan warganegara Malaysia dan 322 orang pengemis merupakan warga asing. Jumlah ini dilihat meningkat tiga kali ganda dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini kerana pada tahun 2016, bilangan pengemis yang direkodkan hanyalah sekitar 600 orang sahaja. Hal ini amat membimbangkan kerana tekanan ekonomi dan kewangan menjadikan seseorang itu lebih mudah terlibat dengan aktiviti jenayah seperti berjudi, merompak,menjual dadah, penipuan dan pinjaman wang haram seterusnya memberikan kesan negatif kepada ekonomi negara.\nMalaysia juga akan dianggap sebagai negara yang tidak mampu memberikan kesejahteraan hidup kepada rakyatnya. Hal ini akan menjejaskan nama baik negara. Malah, masyarakat juga telah dikejutkan dengan penularan video kanak-kanak etnik Rohingya mengetuk tingkap sebuah kereta yang berhenti di lampu isyarat merah untuk mendapatkan wang. Apabila pemandu kenderaan tidak memberikan wang, kanak-kanak itu telah bertindak biadab dengan memberikan isyarat lucah kepada pemilik kenderaan tersebut. Perkara ini telah menimbulkan rasa resah dalam kalangan masyarakat kerana perkara ini bukan sahaja menjadi isu sosial, malah turut mencalarkan imej Malaysia di mata dunia.\nTerdapat pelbagai definisi pengemis mengikut dimensi tertentu. Pengkaji sosial mentakrifkan pengemis sebagai golongan yang terpinggir dalam masyarakat, didiskriminasikan dan sering diberikan stigma negatif. Golongan ini mengemis kerana mereka tidak mendapat peluang yang adil dalam masyarakat, miskin dan kesempitan hidup. Golongan ini mempunyai tahap sosioekonomi yang sangat rendah, tidak mempunyai wang untuk meneruskan kehidupan sehingga menyebabkan mereka perlu meminta simpati orang ramai untuk memastikan perut yang lapar dapat terisi dan poket yang kosong dapat dipenuhi. Hal inilah yang menyebabkan pengemis sanggup melakukan apa-apa sahaja perkara untuk meneruskan kehidupan mereka. Manakala dari aspek ekonomi, pengemis merupakan golongan yang tidak mempunyai sumber ekonomi yang kukuh, tidak mempunyai gaji yang tetap, tidak mampu menyara kehidupan diri dan keluarga dan menjalankan aktiviti mengemis semata-mata untuk memenuhi keperluan hidup. Dari sudut sosiobudaya pula, mengemis merupakan manifestasi individu dan gambaran keluarga yang berpecah belah. Pengemis menyamar dan menipu keadaan sebenar kehidupan mereka bagi mendapatkan simpati dan bantuan daripada orang ramai. Di situlah wujud aliran perhubungan daripada pengemis kepada masyarakat.\nMengemis merupakan satu daripada jalan pintas bagi orang miskin untuk memenuhi keperluan hidupnya. Pengemis cenderung mendakwa diri mereka miskin dengan mempergunakan situasi diri seperti umur yang lanjut, ibu tunggal, cacat dan lain-lain. Mereka bijak memanipulasi masyarakat seperti berpura-pura menjadi Orang Kurang Upaya (OKU) yang buta dengan memakai kaca mata hitam, bertongkat dan ada yang berpura-pura kudung dengan menggunakan kerusi roda untuk meraih simpati masyarakat. Bukan itu sahaja, ada dalam kalangan mereka yang menggunakan raut wajah yang sedih, sugul dan tidak bermaya untuk mengaburi mata masyarakat di persekitarannya. Mereka ini selalunya akan mengemis di kawasan lampu isyarat. Apabila kereta berhenti di kawasan lampu isyarat tersebut, mereka akan meraih simpati kepada pemandu kenderaan dengan cara mengetuk pintu kereta kenderaan.\nBukan itu sahaja, golongan ini bijak menggunakan strategi dengan berpakaian kotor dan koyak untuk mendapatkan belas kasihan daripada orang ramai. Penampilan mereka yang kotor menyebabkan anggota masyarakat berasa kasihan dan terdorong untuk memberikan wang. Malah, sikap masyarakat yang prihatin dan ambil peduli kepada golongan ini membuatkan mereka bijak mengeksploitasi orang lain. Selain itu, pengemis juga selalu berada dalam keadaan kesedihan dan melambai-lambaikan tangannya sehingga membuatkan orang ramai terbuka hati untuk memberikan sedekah. Ada yang membawa anak-anak kecil sehingga mendatangkan ihsan daripada orang ramai.\nPada umumnya, terdapat dua kategori pengemis, iaitu pertama, pengemis yang menunjukkan dirinya tidak berdaya untuk bekerja yang terdiri daripada keluarga miskin. Mereka benar-benar miskin dan terdesak untuk mendapatkan bantuan dan golongan ini tidak mempunyai kesedaran untuk berusaha mengatasi atau mengurangkan kemiskinan, iaitu dengan mencari pekerjaan. Walaupun terdapat sumber bantuan yang mencukupi untuk mengatasi masalah kemiskinan namun, mereka masih tetap memilih untuk mengemis daripada mencari pekerjaan lain.\nKategori kedua pula merujuk kepada pengemis yang terus meminta-minta walaupun telah mencapai tahap tertentu dalam sosioekonomi, iaitu mempunyai tahap kebajikan diri dan keluarga yang baik, namun tetap mengemis untuk mendapatkan wang tambahan. Pengemis kategori kedua mempunyai agenda tersembunyi dan menjadikan khalayak\u00a0 sebagai sasaran untuk merealisasikan impian mereka bagi mencapai kesenangan hidup. Pengemis profesional ini mengemis bukan disebabkan oleh tekanan ekonomi dan desakan hidup tetapi kerana kerendahan moral dan integriti kemanusiaan. Golongan ini sanggup mengabaikan nilai-nilai sosial dan mengeksploitasi orang lain demi kepentingan dirinya sendiri.\nSikap masyarakat yang pemurah, suka memberi, dan bersifat ingin membantu pengemis secara tidak langsung menjadikan pengemis berasa kegiatan yang dilakukan merupakan tindakan yang wajar. Mereka mula mengambil kesempatan dengan menjadikan kegiatan ini sebagai mata pencarian utama. Para pengemis seolah-olah telah mendapat lesen sah dan bergerak secara bebas dalam ruang sosial, berusaha untuk mencari kawasan atau tempat yang dapat memaksimumkan keuntungan ekonomi mereka. Walaupun dari sudut agama menyatakan membantu orang susah dan bersedekah merupakan amalan yang mulia, namun kita sebagai anggota masyarakat haruslah lebih bijak membantu dan memberikan sedekah kepada orang yang tepat serta tempat-tempat yang lebih memerlukan. Sikap masyarakat yang terlalu baik membantu pengemis secara tidak langsung menjadikan mereka berasa mereka wajar dibantu. Malah, sikap masyarakat kita yang pemurah dan suka memberi, membuka ruang kepada golongan pengemis untuk mengambil kesempatan dengan menjadikan kegiatan ini sebagai mata pencarian utama mereka.\nKeperluan pengemis dapat digambarkan dalam Teori Hirarki Keperluan Maslow. Menurut Maslow, setiap manusia mempunyai peringkat keperluan dalam kehidupan dan peringkat keperluan tersebut haruslah dipenuhi dari bawah sebelum ke peringkat seterusnya. Maslow melihat individu sebagai sesuatu yang berintegrasi dan akan terus bermotivasi untuk mencapai sesuatu matlamat. Matlamat merupakan satu keperluan yang perlu dipenuhi oleh semua manusia dan akan menentukan makna hidup yang sebenar. Keperluan pada peringkat bawah sekali merupakan keperluan yang mesti dipenuhi sebelum keperluan pada peringkat yang lebih tinggi diberi keutamaan. Kegagalan dalam memenuhi keperluan yang terletak pada bahagian bawah hierarki akan menimbulkan pelbagai masalah. Sekiranya keperluan ini tidak dapat dipenuhi, maka individu tersebut akan berasa gelisah, kecewa dan tidak tenteram sehingga menyebabkan gangguan emosi. Dengan mengambil contoh masalah pengemis, sudah tentu masalah kewangan menyebabkan ada dalam kalangan ahli keluarga pengemis yang tidak mendapat kepuasan pada tahap fisiologi dan hal ini akan memberikan impak yang negatif terhadap kehidupan mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana, seseorang individu itu perlu mencapai tahap kesempurnaan fisiologi terlebih dahulu sebelum ke peringkat yang seterusnya.\nSelain itu, keperluan keselamatan merupakan keperluan kedua yang perlu dipenuhi oleh pengemis untuk menjamin kehidupan yang lebih aman dan selesa. Namun begitu, ada dalam kalangan pengemis yang menjadi gelandangan kerana mereka tidak mempunyai tempat tinggal yang selamat. Masalah ini akan menyebabkan pengemis berasa terancam dan berada dalam ketakutan dan seterusnya memberikan kesan negatif terutamanya terhadap kanak-kanak yang sedang membesar kerana ibu bapa mereka tidak mampu menyediakan tempat berlindung. Keperluan ketiga ialah kesempurnaan sosial yang merujuk pada kasih sayang dan perhubungan yang mesra antara satu sama lain. Keperluan yang keempat dalam peringkat keperluan ialah penghargaan kendiri. Lazimnya setiap manusia ingin dihormati, disanjung dan sebagainya. Namun begitu, kebanyakan pengemis hidup tanpa rasa dihormati dan disanjung kerana ada dalam kalangan mereka yang dimarahi apabila meminta-minta. Manakala peringkat yang terakhir dalam hierarki keperluan Maslow ialah kehendak untuk kesempurnaan harga diri. Pada tahap ini, perkara ini agak sukar untuk dicapai oleh golongan pengemis kerana daripada peringkat awal lagi keperluan fisiologi mereka tidak mencukupi dan tidak dipenuhi. Oleh hal yang demikian, potensi golongan ini mengalami masalah tekanan adalah tinggi akibat ketidakcapaian keperluan pada peringkat yang lebih atas berdasarkan teori Hierarki Keperluan Maslow. Oleh itu, golongan ini perlu keluar daripada kepompong mengemis, untuk mengurangkan tekanan dalam diri mereka dan sekali gus menghasilkan impak positif terhadap kesempurnaan harga diri mereka.\nOleh sebab mengemis telah menjadi satu budaya, maka mentaliti pengemis lebih cenderung memilih jalan yang mudah untuk mendapatkan sumber kewangan. Hal ini menyebabkan kebanyakan\u00a0 pengemis yang sihat memilih jalan mudah dengan menebalkan muka dan meminta-minta untuk mendapatkan sumber kewangan. Sekiranya aktiviti mengemis ini terus berlanjutan, perkara ini dikhuatiri akan memberikan impak negatif dalam komuniti kerana masyarakat berasa terganggu kerana sikap pengemis yang meminta-minta dengan cara memaksa. Oleh itu, bagi mengatasi isu sosial ini, pihak kerajaan dan pihak-pihak yang bertanggungjawab juga perlu mengambil tindakan tegas dalam memerangi aktiviti mengemis. Antara langkah yang wajar dijalankan untuk membantu golongan ini adalah dengan menyediakan peluang pekerjaan di kawasan tempat tinggal mereka bagi membolehkan pengemis mencari rezeki bagi menampung kehidupan.\nSelain itu, pihak berkuasa perlu berusaha menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia dengan mendapatkan maklumat daripada pengemis yang terlibat dengan jenayah terancang dalam usaha untuk melumpuhkan organisasi tersebut serta mengenakan hukuman berat terhadap ibu dan bapa yang menjadikan anak mereka sebagai pengemis. Pengemis yang mampu bekerja perlu diberikan galakan dan mereka haruslah bersikap produktif. Model pekerjaan alternatif harus dibangunkan supaya golongan pengemis yang mampu bekerja boleh bekerja di sekitar tempat tinggal mereka dan diberikan latihan vokasional yang bersesuaian. Manakala, pengemis bagi kategori kedua perlu dicegah menerusi kedua-dua kaedah, iaitu seksyen jenayah dan program insentif perkhidmatan sosial. Bagi membolehkan peruntukan perundangan yang dikemukakan dalam memerangi pengemis dapat dilaksanakan dengan jayanya, semua peraturan mesti diselaraskan dan bersifat holistik serta kandungan sosial harus ditambah dalam peruntukan undang-undang sedia ada.\nKesimpulannya, dapatlah ditegaskan sekali lagi bahawa pihak berkuasa dan institusi-institusi yang berkaitan perlu memainkan peranan yang sangat penting terutamanya dalam melaksanakan program perlindungan sosial yang berkesan. Setiap langkah dan keputusan dapat dilaksanakan dalam memerangi aktiviti mengemis ini hendaklah merangkumi bantuan dan khidmat sosial seperti menghasilkan dasar pekerjaan aktif dalam skop dasar perlindungan sosial, sekali gus dapat membantu mengurangkan bilangan pengemis di Malaysia." "Kerjasama DBPWU-MRSM Baling Menjayakan Program Pembinaan Bakat Tunas Remaja Peringkat MRSM Negeri Kedah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBaling \u2013 Program Pembinaan Bakat Tunas Remaja Peringkat Maktab Rendah Sains MARA, Negeri Kedah secara dalam talian telah diadakan bermula pada 26 hingga 28 September 2022. Program ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dengan kerjasama Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Baling, Kedah. Sebanyak 30 orang peserta telah menghadiri program ini yang terdiri daripada pelajar MRSM Baling, Kulim, Pendang, Langkawi, Kubang Pasu dan Merbok.\nEditor majalah Dewan Siswa, Puan Syaza Wardina Abd Khalik diundang bagi mengisi sesi \u201cBersama-sama Editor Dewan Siswa\u201d selain dua orang penulis muda tanah air, iaitu Penolong Pengurus Bahagian Pembangunan Latihan, BERNAMA, Encik Ridzuan Mohd Ghazali diundang bagi membimbing penulisan cerpen, manakala Pensyarah Kejuruteraan Awam, Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Encik Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub pula membimbing penulisan puisi.\n\u201cSaya mengalu-alukan penghantaran karya kreatif seperti puisi dan cerpen daripada penulis muda untuk diterbitkan kerana penulis muda pada hari ini mempunyai limpahan idea yang sangat menarik,\u201d demikian antara yang disebut oleh Syaza.\nBeliau juga menyatakan terdapat 11 buah majalah DBP yang menyediakan ruang untuk penyiaran karya termasuklah Dewan Bahasa, Pelita Bahasa, Dewan Kosmik, Dewan Tamadun Islam, Tunas Cipta, Dewan Sastera, Dewan Ekonomi, Dewan Budaya, Dewan Siswa, Dewan Masyarakat dan Dewan Pelajar. Selain menyentuh secara ringkas gedung majalah digital DBP, beliau turut berkongsi kandungan dalam majalah DBP khususnya Dewan Siswa kerana majalah tersebut lebih dekat dengan peringkat umur remaja.\nSementara itu, pada hari kedua pula, pelajar didedahkan dengan asas penulisan cerpen, kaedah menghasilkan cerpen berkualiti dan kaedah untuk menjana idea dalam penulisan. Menurut Ridzuan, sesebuah cerpen akan hilang nilainya jika tidak dimasukkan unsur mesej. Oleh sebab itu, pentingnya isi tersurat dan tersirat dalam cerpen kerana merupakan sebahagian daripada ungkapan perasaan, emosi dan fikiran penulis yang diselitkan dengan nilai serta mesej secara puitis.\nDalam perkongsian hari terakhir, peserta turut berpeluang mempelajari asas penulisan puisi. Nik Mohd Iznan telah menerangkan maksud puisi, tema dan persoalan, nada, gaya bahasa, nilai dan pengajaran berdasarkan pendapat tokoh-tokoh sasterawan negara. Menurut beliau, ramai orang mempersoalkan tentang aliran atau bidang sastera dalam kehidupan sedangkan mereka terlupa bahawa tanpa sastera, kehidupan seakan-akan kosong tanpa pengisian nurani. Sambungnya lagi, sajak yang baik ialah susunan kata-kata yang terbaik hasil daripada fikiran yang cantik, lalu diterjemah dalam bahasa yang indah. Sajak yang berkualiti dapat membentuk jati diri bangsa Melayu melalui bahasa sastera yang menyuntik jiwa.\nSemasa sesi terakhir, semua peserta diberikan peluang untuk mendeklamasikan sajak yang ditulis sendiri untuk dihayati oleh peserta yang lain. Peluang yang diberikan ini dapat membakar semangat peserta untuk terus berkarya walau apa-apa jua keadaan, sekali gus menarik minat mereka untuk menceburi dunia penulisan." "Majlis Penutupan Rasmi DBK dan DMK di Wilayah Persekutuan Labuan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nWilayah Persekutuan Labuan \u2013 Anjung Budaya, Perbadanan Labuan menjadi tumpuan warga Wilayah Persekutuan Labuan pada pukul 2.00 petang, 25 September 2022 apabila Majlis Penutupan Rasmi Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) dan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) di Wilayah Persekutuan Labuan dilaksanakan.\nKetua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Labuan, YBhg. Tuan Haji Rithuan Haji Mohd Ismail, dalam ucapannya menyeru kepada masyarakat setempat agar cakna akan pelaksanaan kempen pemartabatan bahasa kebangsaan dengan memberikan dukungan kepada pelbagai kegiatan yang dilaksanakan. Beliau turut berharap budaya mencintai ilmu melalui budaya membaca juga turut diberikan perhatian dengan cadangan pewujudan sudut bacaan di setiap rumah.\nPara pemenang Jelajah Bahasa dan Cabaran TikTok Peribahasa menerima hadiah daripada YBhg. Tuan Haji Rithuan. Johan Cabaran TikTok Peribahasa, Mohammad Aiman Hakim Kamarul, Harith Faneilqa Faisal dan Sufiyan Said menerima hadiah wang tunai RM2000, sijil penyertaan dan cenderamata iringan. Kumpulan SITC pula berjaya muncul sebagai Johan Jelajah Bahasa. Johan menerima wang tunai RM1500, sijil penyertaan dan cenderamata iringan.\nMajlis diserikan dengan persembahan tarian daripada Kumpulan ASWILA. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah I, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, YBrs. Encik Rusdi Awang, mewakili Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah." "Pelestarian Budaya Membaca melalui Wakaf Buku\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nWilayah Persekutuan Labuan \u2013 Demi melestarikan budaya membaca dan nilai mencintai ilmu dalam kalangan masyarakat, \u00a0Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah bersama-sama Perbadanan Labuan melaksanakan Wakaf Buku sebagai satu daripada kegiatan bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan di Wilayah Persekutuan Labuan.\u00a0 \nLima buah sekolah rendah di Wilayah Persekutuan Labuan yang terpilih menerima Wakaf Buku ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Temiang, SK Sungai Lada, SK Tanjung Aru dan SK Bebuloh yang diadakan di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, pada pukul 9.00 pagi, 26 September 2022.\nPenyampaian Wakaf Buku disempurnakan oleh Timbalan Pengarah I yang mewakili Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, YBhg. Encik Rusdi Awang.\nTurut hadir ialah Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan, Wilayah Persekutuan Labuan, YBhg. Encik Awg Marten Datuk Haji Abd Rahman dan Ketua Unit Perpustakaan Awam Labuan, Puan Hasliza Hassan." "Mengintegrasikan Penglibatan Belia dalam Koperasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGolongan muda merupakan aset penting bagi koperasi yang bukan sahaja untuk pembaharuan generasi keanggotaan dan pemimpin masa depan koperasi, tetapi juga kerana mereka mempunyai kapasiti yang lebih besar untuk inovasi dan keusahawanan serta lebih cenderung untuk bekerja dengan teknologi baharu dan umumnya mempunyai tahap pendidikan yang lebih tinggi berbanding dengan anggota koperasi yang lebih berusia.\nGolongan belia telah menunjukkan semangat yang tinggi dan mengambil bahagian secara aktif dalam gerakan koperasi pada peringkat awal. Kemunculan koperasi di Eropah mempunyai banyak kaitan dengan penyertaan belia sebagai anggota dan kesediaan golongan muda untuk bekerja di koperasi. Di rantau Asia juga, terdapat bukti yang menunjukkan bahawa sebahagian besar belia berminat dan aktif dalam koperasi. Hal ini ditunjukkan di beberapa buah negara membangun, apabila golongan muda (bawah 30 tahun) merupakan sebahagian daripada golongan yang paling aktif terlibat dalam gerakan koperasi.\nDi Jepun, gerakan koperasi pengguna telah dibangunkan di persekitaran universiti dengan pelajar muda mengambil bahagian secara aktif. Di India, daripada peringkat awal lagi, koperasi di institusi pendidikan tinggi merupakan antara koperasi pengguna yang paling berjaya. Pada hari ini, keadaan nampaknya telah berubah sama sekali, sehinggakan gerakan koperasi semakin dikenali sebagai gerakan orang tua.\nRantau Asia Pasifik merupakan satu daripada empat buah wilayah serantau yang menganggotai Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) kerana Malaysia dan rakan-rakan lain negara ASEAN merupakan sebahagian daripadanya. Rantau ini menempatkan sebahagian besar belia di dunia, iaitu lebih separuh daripada golongan muda dunia berumur antara 15 dan 24 tahun. Namun begitu, penyertaan belia dalam koperasi tidak mencapai tahap yang dikehendaki. Asia Selatan khususnya, menyumbang bahagian terbesar populasi belia di dunia dengan parameter yang lebih luas, iaitu kira-kira 26 peratus daripada populasi belia dunia dan mentakrifkan belia sebagai mereka yang berumur antara 15 dan 35 tahun. Walau bagaimanapun, taburan populasi belia di rantau ini adalah sangat tidak sekata. Di Asia Timur, populasi belia dikatakan sekitar 17 peratus, manakala sekitar 18 peratus di Asia Tenggara dan Pasifik.,\nDianggarkan rantau Asia-Pasifik mengandungi 60 peratus daripada populasi belia dunia, atau 750 juta berumur dari 15 hingga 24 tahun. Di India sahaja mempunyai 234 juta orang belia, iaitu jumlah tertinggi di dunia (mewakili 19 peratus daripada jumlah penduduk negara itu), diikuti oleh China dengan 225 juta (mewakili 17 peratus daripada jumlah penduduk). Sebagai perbandingan, Jepun hanya mempunyai 12 juta orang muda atau 10 peratus daripada populasi. Bangladesh dan Filipina kedua-duanya juga mempunyai populasi belia yang sangat tinggi, iaitu sekitar 20 peratus daripada jumlah penduduk. China dan Indonesia merupakan dua lagi negara yang mana populasi belia membentuk sebahagian besar daripada jumlah penduduk. Bahagian Asia yang maju, khususnya negara seperti Jepun, Korea, New Zealand dan Australia tidak menikmati kelebihan ini, kerana penduduknya semakin menua dan kekurangan tenaga buruh merupakan masalah biasa bagi negara-negara ini.\nSecara keseluruhannya belia di rantau ini menikmati pelbagai faedah melalui pertumbuhan ekonomi yang pantas. Walau bagaimanapun, secara perbandingan dengan negara maju, majoriti belia di negara Asia masih menghadapi pelbagai cabaran. Antara cabaran tersebut termasuklah dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan kesihatan.\nDalam pendidikan, halangan untuk akses pendidikan kekal berterusan disebabkan oleh jurang perbezaan bandar dan luar bandar, peningkatan ketidaksamaan sosioekonomi dan penyisihan berterusan kanak-kanak kurang upaya yang menyumbang kepada sebilangan besar belia tidak bersekolah. Sistem pendidikan dan latihan yang tidak sepadan dengan keperluan industri juga menyebabkan pengangguran belia. Di Indonesia dan Filipina, sebagai contoh, kira-kira 25 peratus belia tidak mendapat pendidikan, pekerjaan atau latihan.\nDari segi pembangunan ekonomi rantau, Asia Pasifik berada di barisan hadapan. Namun begitu, pada peringkat global terdapat pula krisis pekerjaan belia. Golongan belia didapati berisiko sebanyak tiga kali lebih besar untuk menganggur berbanding orang dewasa. Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menganggarkan lebih 73.6 juta orang belia sedang mencari pekerjaan.\nAspek kesihatan merupakan satu lagi bidang penting yang turut menimbulkan beberapa cabaran kepada golongan belia. Limpahan pertumbuhan dan peningkatan keluaran dalam negara kasar (KDNK) menyebabkan akses kepada kesihatan meningkat. Walau bagaimanapun, isu kekurangan zat makanan, akses wanita kepada kesihatan, kematian bayi, perkahwinan awal dan masalah kesihatan wanita, peningkatan kadar jangkitan HIV dalam kalangan belia, peningkatan kos perkhidmatan perubatan terus memberikan kesan kepada belia di rantau ini. Di Asia Selatan, masalah ini lebih meruncing dengan kemudahan kesihatan secara amnya di bawah paras kualiti diperlukan. Kemalangan, ketagihan dadah dan alkohol, masalah kesihatan mental merupakan beberapa isu lain yang meningkatkan risiko kesihatan belia di rantau ini.\nBagi mengatasi cabaran-cabaran ini, koperasi merupakan satu daripada platform ideal untuk belia. Terdapat banyak bukti dan hujah yang menunjukkan bahawa koperasi boleh menangani pelbagai keperluan belia dengan berkesan. Sebagai organisasi berasaskan prinsip, koperasi berteraskan komitmen sosial dan memenuhi keperluan anggota merupakan suatu kemestian. Pengangguran merupakan cabaran paling kritikal yang dihadapi oleh belia,. Oleh itu, koperasi boleh menjadi sumber penting untuk golongan belia mendapat pekerjaan. Dianggarkan bahawa koperasi di seluruh dunia menyediakan pekerjaan kepada 280 juta orang penduduk dunia.\nKoperasi juga boleh menjadi bidang keusahawanan penting untuk golongan muda menjalankan perniagaan secara kerjasama dengan berkongsi modal, idea, pemilikan, penggunaan dan risiko. Koperasi ialah pilihan ideal yang menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan berpatutan bagi penjagaan kesihatan. Dalam kes negara Bangladesh, koperasi menyediakan perkhidmatan pengurusan risiko bagi mengurangkan kebergantungan anggota dalam pembiayaan penjagaan kesihatan. Terdapat juga kajian yang menunjukkan keupayaan koperasi membantu belia mengakses keperluan kesihatan dan menyediakan ruang untuk belia berkhidmat kepada orang ramai.\nKoperasi dilihat dan terbukti menyokong pendidikan dalam pelbagai cara tanpa diskriminasi. Koperasi di institusi pendidikan tinggi yang berkhidmat untuk komuniti kampus merupakan perkara biasa di wilayah Asia Pasifik. Koperasi universiti di Jepun, dianggap sebagai satu contoh luar biasa yang menyediakan perkhidmatan sokongan pembelajaran dan kerja sambilan kepada mahasiswa yang juga belia negara itu. Terdapat contoh institusi pendidikan koperasi yang menyediakan perkhidmatan pendidikan kepada belia dengan tumpuan kepada akses, ekuiti dan kualiti. Hal ini membuktikan koperasi boleh memperkasakan belia dalam pelbagai cara. Koperasi tidak hanya menyediakan peluang penyertaan, malah turut meningkatkan belia dengan kemahiran kepimpinan, kewangan, pengurusan perniagaan dan memenuhi pelbagai keperluan terutamanya dalam bidang teknologi dan inovasi.\nGolongan belia memerlukan koperasi untuk penyelesaian banyak masalah dan gerakan koperasi memerlukan belia untuk berkembang maju dalam dekad yang akan datang. Belia yang mengambil bahagian secara aktif dalam koperasi membantu mengembangkan kualiti kebersamaan, kolektivisme dan menyumbang untuk satu sama lain. Koperasi menyediakan pilihan unik kepada belia untuk menangani isu mereka melalui bantuan kendiri. Pada masa yang sama, gerakan koperasi mempunyai banyak manfaat jika belia mengambil bahagian secara besar-besaran dalam koperasi. Pergerakan sosioekonomi koperasi dapat diperkukuh dan koperasi lebih bertahan lama dengan pelibatan orang muda. Koperasi mendapat idea baharu, sumber manusia yang memahami dan dapat mengendalikan teknologi moden serta pemimpin masa hadapan yang memperkaya gerakan koperasi untuk berada di tahap yang lebih baik.\nPelan Strategik ICA membayangkan bahawa koperasi menjadi entiti ekonomi paling pesat berkembang dalam dekad akan datang. Pelan tersebut menekankan tentang identiti koperasi dan pelbagai cara untuk membawa koperasi ke hadapan dalam institusi ekonomi global. Hasrat ini hanya dapat direalisasikan dengan penglibatan golongan muda yang menunjukkan minat dan mengambil bahagian dalam koperasi sebagai anggota dan pekerja. Dalam pengertian ini, belia menjadi sumber penting bagi membantu kelestarian gerakan koperasi. Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) melihat belia sebagai sumber utama untuk mengekalkan kelestarian koperasi pertanian. Anggota dan pemimpin muda telah memberikan sumbangan yang besar kepada kejayaan kebanyakan koperasi wanita di India. Pada masa yang sama, isu belia perlu ditangani dengan cekap dan bersungguh-sungguh dan ini tidak berlaku melalui institusi arus perdana. Zaman belia ialah zaman peralihan daripada pergantungan kepada ibu bapa atau keluarga kepada hidup berdikari dan autonomi. Satu daripada peralihan utama yang perlu dilalui oleh golongan belia ialah perjalanan daripada pendidikan dan latihan ke pasaran buruh. Adalah penting untuk koperasi membuat intervensi yang berkesan pada peringkat ini agar dapat meyakinkan belia.\nKoperasi juga perlu mengetahui apa-apa yang dicari oleh generasi belia sekarang. Suatu tinjauan yang dijalankan menunjukkan 84 peratus belia mengatakan bahawa mereka mahu menjadikan dunia ini lebih baik dan menganggap mereka bertanggungjawab untuk berbuat demikian. Golongan muda pada hari ini mengharapkan gaya pengurusan dan budaya korporat yang berbeza. Laporan itu juga menyatakan bahawa belia pada hari ini menginginkan kemajuan pesat, kerjaya yang pelbagai dan menarik serta maklum balas berterusan, kerja yang berbaloi dan usaha diiktiraf. Koperasi merupakan sebuah organisasi bersifat demokratik, didorong oleh agenda sosial dan bersikap telus dan memberikan ruang yang lebih besar untuk belia melibatkan diri dan memenuhi keperluan mereka. Malah, koperasi mempunyai ciri-ciri yang sesuai dengan keperluan golongan belia. Bentuk perusahaan koperasi menyediakan peluang kepada orang muda untuk mencipta pekerjaan mereka sendiri, peluang pekerjaan dengan perusahaan berasaskan nilai dan mengambil bahagian sebagai pemilik koperasi di mana suara mereka didengari.\nBerdasarkan senario semasa di rantau Asia, belia secara amnya tidak tertarik kepada koperasi sama ada daripada segi pekerjaan mahupun menjadi anggota yang aktif. Walaupun terdapat sebilangan besar belia dalam koperasi secara amnya, tidak ada bukti yang menunjukkan golongan belia memilih untuk menjadi anggota koperasi. Sikap tidak peduli belia terhadap koperasi merupakan satu kerugian kepada belia dan juga gerakan koperasi.\nUsaha keras perlu dilakukan untuk mengasimilasikan belia dalam sektor koperasi. Strategi khusus untuk mewujudkan kesedaran dan meyakinkan belia dengan gerakan koperasi perlu dirancang. Usaha tambahan juga perlu dilakukan untuk melobi dan berunding dengan kerajaan untuk melaksanakan dasar dan perundangan yang kondusif bagi memberikan peluang kepada belia menyertai koperasi. Apabila kebersamaan itu difahami, belia dan koperasi akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menghargai satu sama lain." "Beli Sekarang, Bayar Kemudian : Jangan Sampai Muflis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerkhidmatan Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) kini muncul sebagai penyelesaian pembayaran dan pembiayaan yang menarik bagi kebanyakan orang. Platform dalam talian BNPL ini semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna, khususnya orang muda dengan aplikasi mudah alih sedia untuk dimuat turun. Pengguna boleh mendapatkan pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan tanpa membuat pembayaran dahulu dengan prosedur yang mudah. Mereka hanya perlukan kad pengenalan dan pengesahan wajah pembeli bagi tujuan pendaftaran dan 10 minit kemudian seseorang sudah boleh berbelanja. Secara zahirnya, BNPL ini memudahkan pengguna kerana hanya beberapa minit diperlukan untuk mendapat kelulusan dan semuanya dilakukan secara digital.\nPengguna tidak perlu bersemuka dengan sesiapa, tiada penyata gaji perlu diberikan dan tidak membabitkan penjamin. BNPL ialah pilihan pembiayaan jangka pendek yang membolehkan pelanggan membeli produk dan bayar kemudian dengan kadar faedah sifar atau rendah. Jadual pembayaran balik bergantung pada syarat yang ditawarkan oleh penyedia BNPL, tetapi biasanya \u00a0termasuk pembayaran penuh pada penghujung bulan, bayar sebanyak tiga kali (pembayaran sama rata untuk tempoh tiga bulan) atau bayar sebanyak empat kali (bayaran setiap dua minggu).\nBNPL meningkat dengan ketara sejak bermulanya pandemik COVID-19 berikutan sekatan pergerakan dan interaksi sosial yang mendorong pengguna untuk lebih memanfaatkan platform e-dagang. Menurut satu unjuran Frost & Sullivan, jumlah nilai urus niaga BNPL di rantau ini akan meningkat kepada RM124.8 bilion pada 2026 berbanding dengan RM36.6 bilion pada 2022 dengan jumlah pengguna aktif meningkat kepada 127 juta berbanding dengan 37 juta sebelum itu. BNPL di Malaysia turut dijangka berkembang 109.5 peratus pada setiap tahun dan mampu mencapai sehingga A.S.$601.2 juta (RM2.6 bilion) menjelang akhir tahun ini. Kajian menunjukkan urus niaga BNPL sudah mengalihkan antara A.S.$8 bilion (RM36 bilion) hingga AS$10 bilion (RM44.5 bilion) perolehan tahunan dari bank. Hal ini bermakna, sama ada di pasaran antarabangsa atau Malaysia, BNPL terus mendapat tempat dalam kalangan pengguna khususnya golongan muda. Malah, populariti BNPL bakal mengatasi kad kredit. Kenyataan ini bukan omong kosong kerana menurut laporan media, nilai transaksi pasaran BNPL membabitkan 10 orang penyedia BNPL bukan bank di Malaysia, melonjak kepada RM1.49 bilion pada tahun lalu berbanding dengan hanya RM55 juta pada 2020, sekali gus mencerminkan peningkatan populariti platform terbabit dalam kalangan masyarakat di negara ini.\nDemografi lebih muda di rantau ini memberikan dorongan terhadap potensi pertumbuhan yang lebih luas untuk urus niaga BNPL berikutan kumpulan ini aktif membeli-belah dalam talian serta pengguna utama perkhidmatan ini. Penggunaan perkhidmatan BNPL dilihat semakin berkembang merentas sektor. Daripada fesyen kepada elektronik, perjalanan, dan kini insurans, permintaan terus meningkat dalam kalangan pengguna. Prospek ini sekali gus menawarkan peluang kepada penyedia BNPL untuk menawarkan perkhidmatan. Frost & Sullivan turut menjangkakan lebih banyak firma global akan mengembangkan jejak mereka sebagai penyedia BNPL di Malaysia memandangkan negara ini menyaksikan pasaran paling menarik di Asia Tenggara. Pada Oktober 2021, Bjak, platform insurans di Malaysia, mengumumkan bahawa firma itu menawarkan pilihan pembayaran BNPL yang mempunyai 15 jenama insurans pada platformnya mengumumkan bahawa kaedah pembayaran BNPL akan membolehkan pemilik kereta dan motosikal membahagikan pembayaran pembaharuan insurans mereka kepada tiga pembayaran sama rata, tanpa faedah. Bagi melancarkan kaedah pembayaran BNPL untuk pelanggannya di Malaysia, firma itu sudah bekerjasama dengan Atome. Pada Disember 2021, platform BNPL yang berpangkalan di Australia, Latitude, mengumumkan pengembangan perkhidmatannya di Malaysia.\nWalau bagaimanapun, bagai ada udang di sebalik batu, BNPL sebenarnya berisiko menjerat pengguna ke lubuk hutang, sekali gus menyebabkan mereka terdedah kepada muflis. Tarikan utama BNPL ialah seseorang boleh berbelanja tanpa had dan tidak menjejaskan skor kredit sekalipun individu berkenaan gagal melunaskan pembayaran. Malah, sekiranya seseorang itu gagal menjelaskan hutang barangan di satu penyedia BNPL, mereka boleh berhutang dengan penyedia BNPL lain kerana tidak ada rekod. Situasi ini menyebabkan mereka terjebak dalam kancah hutang yang banyak. Pengendali BNPL juga semakin bijak dengan menawarkan pelbagai diskaun dan promosi untuk menggoda pengguna. Jika beli secara tunai, tiada sebarang diskaun namun, jika menggunakan kaedah pembayaran BNPL, pengguna akan peroleh \u2018penjimatan\u2019 sehingga RM30 contohnya. Keadaan ini akan \u2018mengasyikkan\u2019 pengguna sehingga mereka begitu berani menambah komitmen hutang. Golongan peniaga nampak urus niaga BNPL sebagai satu daripada cara untuk memudahkan orang ramai membeli kerana bukan semua pembeli memiliki kad kredit. Oleh sebab itu, peniaga mula mempraktikkan BNPL ini, lantas menyebabkan pembeli sekarang sudah ada pilihan untuk membeli dengan berhutang menggunakan BNPL, walaupun tidak mempunyai kad kredit. Tinjauan mendapati kebanyakan penyedia BNPL mempromosikan transaksi mereka sebagai tanpa faedah atau\u00a0zero interest. Adakah hal ini benar-benar berlaku?\nPada hakikatnya, hasil pengamatan mendapati lapan daripada 10 orang penyedia perkhidmatan BNPL \u2018menyelitkan\u2019 faedah tersembunyi yang perlu dibayar, sekiranya \u2018si penghutang\u2019 terlambat membuat pembayaran. Hal ini diakui oleh pakar kewangan Dr. Adam Zubir menerusi akaun YouTube beliau kerana menurut beliau, BNPL merupakan konsep perniagaan yang turut membuat keuntungan melalui bayaran pemprosesan dan bayaran lewat. Justeru, BNPL boleh menjerumuskan seseorang ke dalam kelompok muflis. Potensi ke arah terjerumus dalam kelompok muflis timbul jika seseorang gagal memantau kedudukan kewangannya dan tidak mengawal perbelanjaannya, sehingga mereka tidak mampu atau gagal menjelaskan pinjaman peribadi, pinjaman kereta, rumah, kad kredit disebabkan komitmen hutang bertambah. Malah, kebanyakan barangan yang dibeli melalui BNPL dilihat sebagai kehendak, bukannya keperluan. Pada Jun lalu, Perdana Menteri Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob meluahkan kebimbangannya tentang kadar peningkatan kes muflis membabitkan belia. Data Jabatan Insolvensi menunjukkan golongan itu merangkumi lebih 60 peratus atau kira-kira 27 000 kes bankrap yang direkodkan bagi tempoh 2018 hingga Mei lalu dengan 19 334 kes berpunca daripada pinjaman peribadi.\nBNPL boleh memburukkan lagi masalah keberhutangan isi rumah, apabila kadar hutang isi rumah berbanding dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih tinggi, iaitu 89 peratus pada akhir Disember tahun lalu,iaitu tertinggi di Asia Tenggara dan kedua tertinggi di Asia selepas Korea Selatan. Kadar hutang isi rumah di Malaysia meningkat daripada RM1.27 trilion kepada RM1.34 trilion dan secara tidak langsung kadar hutang isi rumah di negara ini lebih tinggi berbanding dengan hutang kerajaan persekutuan. Inilah kebimbangan terhadap hutang isi rumah. BNPL sudah pasti akan memperlihatkan tekanan tertentu ke atas hutang isi rumah kerana BNPL tidak membekalkan pengawal selia maklumat kredit pelanggan dan kaedah pembayaran BNPL dipasarkan sebagai lebih baik berbanding kad kredit. Mengambil contoh statistik Jabatan Insolvensi Malaysia, pada 2021, lebih 20 kes muflis difailkan oleh individu di bawah umur 25 tahun, manakala 1060 kes direkodkan bagi kumpulan berumur 25 hingga 34 tahun. Walau bagaimanapun, kesan bersih BNPL terhadap hutang isi rumah masih tidak diketahui berdasarkan fakta kajian. Namun begitu, dari sudut pandangan lain, BNPL boleh mengurangkan kebergantungan isi rumah kepada kad kredit mahal yang menjadi masalah besar kepada pengguna muda kerana hal tersebut merupakan pilihan yang lebih baik daripada menggunakan kad kredit atau meminjam daripada peminjam haram.\nDisebabkan beberapa kebimbangan di atas, maka timbul cadangan untuk memperketat perkhidmatan BNPL. Antara cadangan aspek yang perlu diperketat dalam BNPL termasuklah jumlah (had) kredit yang boleh diluluskan kepada pelanggan, kadar faedah ditawarkan, jenis harga barangan yang dibenarkan untuk memanfaatkan kemudahan BNPL serta tempoh pembayaran bagi perkhidmatan berkenaan. Pengaturan BNPL sedia ada dilihat tidak benar-benar menumpukan kepada penarafan kredit pengguna memandangkan kelulusan yang diberikan hanya berdasarkan maklumat asas, tanpa mengambil kira sama ada pengguna berupaya untuk membuat bayaran balik atau sebaliknya. Oleh itu, usaha memperketat undang-undang BNPL perlu dilakukan dan dikawal sewajarnya kerana bukan semua rakyat mampu membayar semula jika kadar faedah serta penalti yang dikenakan terlalu tinggi. Hal ini mampu menjadikan perkhidmatan ini penting untuk dikawal selia demi kebaikan pengguna, pemberi pinjaman serta mengelakkan daripada sebarang potensi risiko kepada sistem kewangan. Dalam hal ini, keperluan untuk mewujudkan undang-undang untuk melindungi pemiutang dan pemberi pinjaman juga perlu difikirkan oleh pihak berkuasa. Penyedia tidak berdaftar atau tidak dikawal mesti dihapuskan dalam mana-mana rangka kerja BNPL baharu.\nKerajaan dilihat cakna tentang implikasi BNPL kepada pengguna dan Akta Kredit Pengguna(CCA) sedang digubal yang dijangka dibentangkan kepada Parlimen pada suku kedua tahun 2023. CCA akan berfungsi sebagai pendekatan awal selepas memantau trend, risiko dan kesan berpotensi ke atas kedudukan kewangan pengguna. CCA akan ditadbir oleh Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB), sebuah pihak berkuasa kompeten bebas yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan (MOF)." "Membahaskan Jurang Ekonomi yang Kian Melebar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKadar ketidaksamaan ekonomi pada peringkat dunia terus meningkat sejak tiga dekad lalu dan semakin parah sewaktu wabak COVID-19 berleluasa.\nLaporan Oxfam (2021) melaporkan bahawa 10 orang terkaya dunia telah menggandakan kekayaan mereka sewaktu era pandemik COVID-19, walhal sebanyak 160 juta orang juga dijangka bakal dihimpit kemiskinan dan sekitar 17 juta nyawa telah terkorban akibat wabak COVID-19. Krisis ekonomi sedemikian membuatkan kemunculan karya terbaru Thomas Piketty, A Brief History of Equality, menjadi lebih mustahak untuk dibahaskan. Thomas Piketty merupakan seorang Professor di \u00c9cole des Hautes \u00c9tudes en Sciences Sociales dan Paris School of Economics (PSE). Beliau antara sosok terkedepan dalam mengemukakan data dan kajian terbaharu mengenai ketidaksamaan ekonomi dunia, terutamanya pada abad ke-21.\n\nSebelum itu, Thomas Piketty yang juga pemenang anugerah Yrj\u00f6 Jahnsson Award, telah menerbitkan dua buah adikarya yang cukup berpengaruh, Capital in the Twenty-First Century (2014) dan Capital and Ideology (2020).\nKedua-duanya memerihalkan sejarah dan analisis struktural\u00a0 bagi masalah ketidaksamaan ekonomi dunia sejak 200 tahun yang lalu. Sepertimana penulisan Piketty yang lain, kajiannya sarat dengan data yang dicuplik dari pelbagai sumber; laporan cukai dan kewangan negara, bancian umum, bahkan keratan-keratan akhbar yang menjangkau ratusan tahun usianya. Variasi data inilah antara kekuatan Piketty yang paling menyerlah.\nA Brief History of Equality turut menyentuh hal ketidaksamaan ekonomi, namun mempunyai hala tuju yang berbeza daripada karya sebelumnya. Capital (2014) tertumpu pada persoalan punca asasi bagi jurang ekonomi yang kian melebar yang tersimpul pada rumus r>g. Capital and Ideology (2020) pula membangkitkan persoalan institusi dan ideologi yang melatari masalah ketidaksamaan ekonomi dunia moden. Berbeza daripada kedua-dua karya ini, A Brief History of Equality membawakan suatu naratif yang lebih optimistik. Piketty menawarkan suatu refleksi persejarahan dan ekonomi berserta panduan bagi mengarah masyarakat dunia kepada sebuah ekonomi yang lebih saksama. Secara tidak langsung, seperti yang dinyatakan oleh Piketty pada awal penulisan buku ini, penulisan kali didedikasikan kepada orang awam sebagai \u201csenjata melawan ketidaksamaan ekonomi\u201d di setiap penjuru dunia.\nSecara keseluruhan, buku setebal 288 halaman itu, memuatkan analisis yang pelbagai dan merangkumi skop persejarahan yang panjang. Kesemua 10 bab yang disertakan membahaskan ketidaksamaan ekonomi dari pelbagai aspek termasuklah gagasan dasar-dasar awam yang pernah dan wajar diguna pakai semula pada hari ini (Bab 4, 7, 8 dan 10). Satu daripada kekuatan buku tersebut melibatkan tumpuan kepada kesan penjajahan dalam evolusi ketidaksamaan ekonomi dunia, terutamanya buat negara-negara dunia ketiga. Aspek ini tidak tergambar sepenuhnya dalam karya-karya Piketty sebelum ini. Bab 3 menjelaskan dengan tuntas mengenai empayar Eropah dan Amerika Syarikat mengumpul kekayaan negara mereka sehingga menjadi negara yang membangun melalui eksploitasi ekonomi dan hegemoni politik terhadap negara jajahan mereka. Sumber pendapatan dari negara jajahan ini disalurkan untuk kegunaan empayar dan tidak digunakan untuk membangunkan infrastruktur di tanah jajahan. Kesan daripada hal ini menyebabkan sebahagian negara bekas jajahan agak perlahan untuk mengikuti arus pembangunan dunia dan sebahagian lain turut terjerat dengan perangkap kemiskinan (poverty trap).\nHujahan ini tidaklah baharu dan sudah pun diamati oleh kebanyakan pengkaji, termasuklah Walter Rodney, dalam adikaryanya How Europe Underdeveloped Africa (1972). Kajian terbaru Utsa Patnaik juga mencatatkan kiraan sejumlah A.S.$45 trilion nilai kekayaan yang disalurkan keluar dari India kepada British sepanjang India dijajah. Di Malaysia dan Indonesia, kajian terkini oleh DYMM Sultan Nazrin, Charting the Economy: Early 20th Century Malaya and Contemporary Malaysian Contrast (2017), dan mendiang Alec Gordon (2010), turut mengemas kini jumlah pendapatan yang mencecah ratusan bilion yang telah disalurkan keluar sewaktu era penjajahan.\nKajian terbaharu daripada pengkaji bekas negara jajahan ini malangnya tidak dipetik di dalam buku ini terutamanya apabila Piketty lebih banyak bergantung pada kiraan lama yang direncanakan oleh pengkaji-pengkaji negara Barat. Piketty turut mencadangkan negara-negara kaya \u201cmemulangkan\u201d semula wang yang diperoleh sepanjang tempoh penjajahan dalam bentuk wang pampasan, bahkan lebih lagi kepada negara bekas jajahan yang terpaksa menanggung pelbagai kepayahan dan halangan untuk membangun negara mereka hari ini. \u201cTentunya, wang pampasan sahaja tidak memadai untuk menyelesaikan masalah ini,\u201d jelas Piketty. Tambah beliau, \u201cUntuk membaik pulih kerosakan yang dibuat oleh rasisme dan kolonialisme, kita juga harus mengubah sistem ekonomi dengan mengurangkan kadar ketidaksamaan, serta memastikan semua orang mempunyai akses yang egalitarian terhadap pendidikan, pekerjaan dan harta, tanpa mengira asal usul mereka (muka surat 93).\u201d\nPada peringkat yang lebih umum, inti pati buku ini berangkat dari premis yang optimis, iaitu dari sudut pandang Longue Dur\u00e9e Piketty mengatakan telah wujud trend yang memperlihatkan pergerakan menuju ekonomi yang saksama terutamanya dari sudut pengumpulan harta. Bahagian kelas ekonomi 10 peratus teratas dalam jumlah keseluruhan pendapatan negara semakin berkurang, termasuklah jumlah aset dan kini lebih cenderung didominasi \u201ckelas menengah patrimoni\u201d. Semacam suatu paradoks, Piketty menjelaskan: \u201cDari satu sudut, wujud pergerakan jangka panjang ke arah kesamaan, iaitu pengumpulan harta yang lebih rendah sekali gus mengurangkan kuasa ekonomi dan sosial; pada masa yang sama, ketidaksamaan ekonomi kekal tinggi, bahkan sangat memeritkan, dan sukar untuk kita berpuas hati dengan keadaan hari ini (muka surat 32).\u201d Data dari tiga dekad yang lalu sememangnya menunjukkan kadar ketidaksamaan mencanak naik, namun Piketty kekal positif melihat bahawa perkara ini tidak menjejaskan trend jangka panjang yang menuju kepada kesaksamaan ekonomi.\nSeperti dalam penulisan-penulisan sebelumnya, Piketty tidak pernah lekang daripada mengusulkan cadangan-cadangan dasar pembaharuan yang konkrit. Institusi yang harus wujud untuk keluar dari perangkap ketidaksamaan ekonomi menurutnya mudah: \u201chak mengundi sejagat dan demokrasi berparlimen; pendidikan wajib dan percuma; tanggungan kesihatan sejagat; cukai pendapatan progresif, harta warisan, dan pemilikan harta; pengurusan bersama dan undang-undang buruh; kebebasan media; undang-undang antarabangsa dan lain-lain (muka surat 12)\u201d.\nNamun begitu, dua dasar utama yang menjadi nadi bagi keseluruhan cadangan beliau; cukai progresif terhadap pendapatan dan harta, serta pengagihan kekayaan melalui kerangka negara berkebajikan (welfare state). Cukai progresif berfungsi untuk mendanai program-program perlindungan dan kebajikan bagi kelas terbawah, termasuklah membiayai wang pampasan untuk mangsa daripada era penjajahan, penghapusan hutang, dan lain-lain. Hal ini hanya boleh tercapai sekiranya kuasa pemilikan harta dikurangkan. Pengembangan skop negara dalam hal kebajikan rakyat kebanyakan ini sekali gus membuka ruang baharu untuk menukar sistem ekonomi dunia hari ini dengan menyeluruh.\nAhli ekonomi akan terus membahaskan gagasan yang ditawarkan oleh Thomas Piketty. Namun begitu, tiada sesiapa yang boleh mendakwa bahawa kupasan dan hujahan beliau tidak berasaskan kajian data yang sangat komprehensif. Sungguhpun karya A Brief History of Equality ini tidak setebal karya-karya sebelumnya, cakupan perbincangannya meluas dan idea-idea penting dalam dunia ekonomi pada hari ini disajikan dengan baik. Perbincangan corak, punca, serta jalan keluar bagi masalah ketidaksamaan ekonomi sepanjang dua abad yang lalu tentunya akan terus dibincangkan dan dinilai semula, namun tidak sewajarnya dihadkan kepada ahli ekonomi semata-mata.\nBegitulah seperti yang dipesan oleh Piketty, iaitu persoalan ekonomi terlalu penting untuk dibiarkan kepada kumpulan tertentu. Pelibatan masyarakat dalam mengguna pakai pengetahuan dalam hal ini merupakan langkah penting dalam perlawanan bagi memperjuangkan kesaksamaan." "Menghasilkan Penulisan Artikel yang Mantap untuk Majalah DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sentiasa memberikan ruang dan peluang kepada mana-mana penulis untuk menyerahkan karya mereka bagi diterbitkan menerusi majalah DBP dalam usaha memartabatkan bahasa, sastera dan penerbitan serta bidang lain termasuklah sains dan teknologi. Terbaharu, DBP melalui Bahagian Majalah dan DBP Wilayah Timur menjalinkan kerjasama dengan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu, selaku tuan rumah dan Persatuan Penulis Kelantan (PPK) mengadakan Bengkel Penulisan Artikel Majalah DBP dalam usaha membimbing dan membina bakat penulisan dalam bidang penulisan artikel.\nDr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah sewaktu menyampaikan ceramahnya yang bertajuk \u201cPenerbitan Majalah DBP\u201c amat berharap agar para peserta yang hadir dalam bengkel tersebut mengenali\u00a0 11 buah majalah DBP dan mengetahui sasaran pembaca, serta setiap kandungannya supaya penulisan yang dihasilkan menepati ruangan dan kehendak editor majalah berkenaan.\nBanyak ruang untuk artikel dan karya kreatif disediakan dalam majalah DBP yang wajar direbut oleh penulis. DBP turut memperkenalkan penerbitan digital yang berbentuk Sohor Kini yang mengandungi lapan majalah yang diterbitkan dalam portal yang dinamakan JendelaDBP. Laman ini telah diakses oleh lebih sejuta orang pelayar dan tersebar di 70 buah negara. JendelaDBP merupakan medium baharu yang isi kandungannya mesra dan cepat sampai kepada pembaca, dan mengandungi ruangan yang amat bermanfaat kepada pembaca dalam mendapatkan maklumat yang segera dan berkualiti.\nBengkel ini turut disertai oleh lebih 50 orang peserta dalam kalangan penulis tempatan dan pelajar IPG Kampus Kota Bharu. Selain itu, Puan Suria Janib, Editor majalah Pelita Bahasa turut menyampaikan ceramah yang bertajuk \u201cPanduan Penerbitan Rencana\u201d. Beliau yang berpengalaman menangani beberapa terbitan majalah DBP menerangkan ciri-ciri rencana yang bertepatan dengan kehendak editor. Beliau juga berkongsi beberapa cadangan judul dan isu artikel yang belum dan jarang-jarang diketengahkan dan ditulis oleh pengkarya.\nSebagai penulis, mereka perlu memahami konsep dan kandungan sesebuah majalah. Seperti yang selalu diingatkan oleh Dr. Abdullah Yusoff, editor ialah musuh utama penulis sekiranya hasil karya penulis gagal menawan hati editor. Editor berhak menolak rencana yang tidak menepati kehendak penerbitan DBP.\nSelain itu, bengkel ini juga menampilkan penceramah undangan, iaitu Dr. Abdullah Yusoff, seorang pakar bahasa dan penulis prolifik yang membawakan tajuk \u201cAmali Pemetaan Penulisan Rencana Berkualiti\u201d. Dalam bengkel tersebut, beliau turut berkongsi pengalaman tentang minat dan kecintaannya terhadap penulisan dan kegigihannya untuk terus berkarya hingga kini. Melalui usaha yang gigih, beliau berjaya menghasilkan cerpen pertamanya dan diterbitkan dalam majalah Pelita Bahasa terbitan November 2021 pada usia 63 tahun.\nDr. Abdullah turut menurunkan ilmu dan berkongsi pengalaman kepada para peserta bahawa tidak mustahil untuk menghasilkan karya sekiranya mereka benar-benar berusaha. Beliau juga banyak menghasilkan rencana terutamanya dalam majalah Pelita Bahasa dan buku pertamanya pula berkaitan dengan orang kurang upaya, bahasa dan komunikasi, iaitu Memahami Komunikasi Orang Pekak, terbitan DBP dan pernah memenangi Anugerah Buku Negara.\nApabila artikel diterbitkan dalam majalah, kita tidak dapat menggambarkan betapa terujanya kita dan kita akan terus menulis. Apatah lagi apabila penulisan artikel mampu menjanakan pendapatan dan mengangkat ketokohan penulis yang berjaya terutama penulis yang lahir daripada produk DBP.\nBengkel yang berlangsung selama sehari yang diadakan di IPG Kampus Kota Bharu ini mendedahkan para peserta kepada ciri-ciri penulisan artikel yang baik, cara memperkembang idea dan isi penulisan dan kaedah mempertautkan tulisan antara perenggan itu secara langsung memberikan dorongan kepada peserta yang terdiri dalam kalangan guru lepasan IPG untuk \u201cmenulis sehingga terbit\u201c.\nPenutupan perasmian bengkel pula disempurnakan oleh Timbalan Pengarah IPG Kampus Kota Bharu, Dr. Mohd Rozi Ismail yang mewakili Pengarah IPG Kampus Kota Bharu, Dr. Khairuddin Said.\u00a0 Menerusi ucapannya, beliau memohon semua peserta dalam kalangan guru pelatih untuk menghasilkan artikel bermutu untuk diterbitkan oleh DBP.\nIPG Kampus Kota Bharu akan terus mengadakan hubungan yang baik dengan DBP untuk mengembangkan dan melestarikan bahasa. Pada tahun 2018, IPG ini telah mengadakan Memorandum Persefahaman (MOU) dengan DBP untuk memperkasakan bahasa, sastera dan penerbitan. Oleh itu, kami amat mengalu-alukan program sebegini\u00a0 agar dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.\nYang turut hadir dalam bengkel tersebut ialah Dr. Nik Hassan Seman, Ketua Jabatan Pendidikan Khas, IPG Kampus Kota Bharu, Darma Mohamad, Penasihat PPK, Tuan Haji Hadi Yusof, Setiausaha Satu PPK, Awang Abdullah, penyair kebangsaan dan Muhamad Ikhram Fadhly Hussin, yang mewakili Pengarah DBP Wilayah Timur." "KPM Umum Pelantikan KPPM Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan pelantikan YBhg. Dato\u2019 Haji Pkharuddin Haji Ghazali sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) yang baharu berkuat kuasa pada 23 September 2022.\nYBhg. Dato\u2019 Haji Pkharuddin Haji Ghazali, 59 tahun merupakan KPPM yang ke-19. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) pengkhususan dalam bidang Geografi dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur.\nBeliau telah memulakan perkhidmatan dalam dunia pendidikan pada 1 Ogos 1989 sebagai guru di Sekolah Menengah King George V, Seremban, Negeri Sembilan. Dalam tempoh 33 tahun dalam perkhidmatan, beliau telah berkhidmat di pelbagai organisasi dalam KPM.\nAntara jawatan yang pernah disandang beliau termasuklah Penolong Pengarah Sektor Penilaian dan Peperiksaan di Lembaga Peperiksaan, Pengetua di SMK Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan, Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Ketua Sektor Jaminan Kualiti,Timbalan Pengarah serta Pengarah di Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Pengarah Peperiksaan di Lembaga Peperiksaan dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum).\nDengan pelantikan ini, KPM yakin bahawa YBhg. Dato\u2019 Haji Pkharuddin Haji Ghazali dapat menerajui perkhidmatan pendidikan serta meneruskan kesinambungan dalam usaha memacu transformasi pendidikan dan meningkatkan lagi kualiti pendidikan negara ke tahap yang lebih tinggi demi masa depan generasi pewaris negara. KPM juga sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik dalam aspek pendididkan negara.\n\u00a0\nSelaku agensi yang bernaung di bawah KPM, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut mengalu-alukan pelantikan ini dan yakin YBhg. Dato\u2019 Haji Pkharudin Haji Ghazali dapat menlaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pelbagai lapangan pendidikan sebelum ini." "Putrajaya Bakal Menerima Sekolah Pertama di Presint 15 Menjelang Tahun 2025\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Seperti Pelan Pelaksanaan (RP)4 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan projek pembinaan sekolah baharu di Putrajaya sudah diluluskan.\nMenteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pembinaan sekolah baharu adalah berdasarkan keutamaan pada kawasan berkepadatan penduduk serta mengambil kira jangkaan kepadatan penduduk pada masa akan datang.\nKementerian mendapati bahawa trend peningkatan kepesatan pembangunan dan kepadatan penduduk di sesuatu penempatan berlaku lebih cepat, namun tiada sekolah baharu dibina.\nKita tahu jumlah penduduk akan terus meningkat dan jika pembinaan sekolah diberi keutamaan lebih awal, maka kesesakan murid pada setiap sekolah tidak akan berlaku.\nLangkah membina sekolah baharu ini juga adalah sebahagian daripada perancangan intervensi kementerian dalam mengatasi isu murid padat di dalam kelas pada masa kini dan juga akan datang.\nDalam tinjauan semasa Majlis Penyerahan Pelaksanaan Projek Pembinaan Kompleks Sekolah Presint 15, YB Datuk Dr. Radzi Jidin berkata:\nIni merupakan kompleks pertama untuk penduduk di Presint 15. Sebelum ini, di Presint 15 tiada sekolah rendah mahupun sekolah menengah.\nJelas beliau,\nDengan pembinaan kompleks ini yang mengandungi 36 bilik darjah bagi sekolah rendah dan 30 bilik darjah bagi sekolah menengah, tentunya akan memberikan kemudahan kepada penduduk sekitar.\nMengenai Kompleks Sekolah Presint 15, kerajaan telah memperuntukkan seluas 5.9 hektar dan RM121 juta untuk projek pembinaan sekolah rendah dan sekolah menengah di kawasan itu.\nKongsi beliau ketika sidang media diadakan selepas menyempurnakan majlis penyerahan tersebut pada pagi tadi,\nProjek pembinaan sekolah di Kompleks Sekolah Presint 15 ini dijangkakan siap pada Ogos 2025.\nBeliau mengulas lanjut, selain Sekolah Presint 15, terdapat beberapa lagi projek pembinaan sekolah baharu di Putrajaya yang telah diluluskan untuk pembinaan, iaitu SK Putrajaya 8(3), SK Putrajaya Presint 17(2) dan Kompleks Presint 5(2).\n\nSumber foto: KPM" "Penampilan Sulong MySPRM-ACeIO Menghangatkan Piala Emas Raja-Raja Edisi Ke-100 Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNilai \u2013 Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-55 Badan Pencegah Rasuah atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 1 Oktober 2022, satu sejarah turut tercipta apabila pasukan bola sepak MySPRM-ACeIO buat julung kalinya beraksi di Piala Emas Raja-Raja (PERR).\nKejohanan bola sepak peringkat kebangsaan edisi ke-100 ini menampilkan 12 pasukan negeri dan empat pasukan undangan, termasuklah MySPRM-ACeIO.\nPasukan MySPRM-ACeIO diwakili oleh pegawai dan kakitangan SPRM, serta rakan integriti (Integrity Champion) kepada Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) Malaysia. Pasukan yang dibimbing oleh legenda bola sepak kebangsaan Khalid Shahdan pada penampilan sulong ini telah diundi bersama dengan kumpulan C yang menampilkan gergasi merah kuning Selangor, Juara Piala Agong 2022 Kuala Lumpur dan PDRM.\nPengurus Pasukan MySPRM-ACeIO, Tuan Ahmad Sabri Mohamed, Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan SPRM merangkap Presiden ACeIO memaklumkan bahawa penyertaan MySPRM-ACeIO pada PERR bertujuan untuk menyebarluaskan mesej antirasuah ke arah pembudayaan integriti serta pengukuhan nilai antirasuah dalam masyarakat melalui sukan nombor satu negara, iaitu bola sepak.\nPenyertaan juga bertujuan memberikan pendedahan kepada pegawai dan kakitangan SPRM serta rakan integriti untuk menimba pengalaman dan mengembangkan bakat bola sepak di peringkat tertinggi, sekali gus mengukuhkan jaringan kerjasama dalam menjayakan agenda pencegahan rasuah Keluarga Malaysia." "Penyertaan Hebat daripada Pelbagai Peringkat Meriahkan DBK Sektor Pendidikan KPM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur-Bersempena dengan sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) Sektor Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia Tahun 2022, \u00a0Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), \u00a0YBrs. Hajah Zanariah Haji Ahmad telah dijemput untuk bersiaran secara langsung dari konti KL FM melalui saluran 97.2fm dan laman web klfm.rtm.gov.my dan berkongsi mengenai sambutan tersebut.\nBerkongsi secara ringkas mengenai latar belakang sambutan DBK Sektor Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia Tahun 2022 yang bertemakan \u201cBahasa Jiwa Bangsa\u201d pada tahun ini, beliau berkata sambutan ini merupakan acara kemuncak kepada aktiviti kebahasaan di KPM dan disambut pada setiap tahun. Untuk tahun 2022, program ini akan disambut dengan meriahnya pada 6 Oktober 2022 kelak. \u00a0Antara acara kemuncak yang ditunggu-tunggu ialah penganugerahan kepada Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan dan Tokoh Bahasa Melayu kategori Teknikal dan Vokasional KPM yang buat julung kali diperkenalkan pada tahun ini.\n\nMenyentuh mengenai objektif sambutan ini, YBrs. Hajah Zanariah turut berkongsi beberapa objektif program ini, antaranya termasuklah memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, menaik taraf pelaksanaan DBK supaya setaraf dengan Bulan Inovasi Kebangsaan, menobatkan tokoh bahasa Melayu untuk sektor pendidikan dan tokoh bahasa Melayu bagi kategori teknikal dan vokasional. Program ini juga bertujuan untuk menghebahkan kepada masyarakat bahawa warga KPM juga sentiasa bergerak ke arah memartabatkan bahasa Melayu terutamanya dalam usaha untuk menghasilkan bahan ilmiah dalam bahasa Melayu.\nMengambil konsep peribahasa \u201cmelentur buluh biarlah daripada rebungnya\u201d, Pengarah BPLTV itu juga turut menjelaskan beberapa lagi inisiatif KPM dalam memperkasakan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi daripada peringkat prasekolah hingga ke peringkat tertinggi. Antara inisiatif tersebut termasuklah sentiasa menjadikan agensi kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai rujukan utama dalam memastikan kelancaran program di agensi KPM dapat diatur dengan baiknya. KPM juga mengambil langkah untuk menyemarakkan aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan khususnya dalam sektor pendidikan dengan kerjasama KPM, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), dan Institut Terjemahan dan Bahasa Malaysia (ITBM).\u00a0 Pelbagai aktiviti seperti bengkel penulisan dokumen rasmi, bengkel memperkasakan tulisan Jawi, sayembara lagu puisi, pertandingan melafazkan pantun dan seminar memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah mendapat sambutan yang sangat baik daripada warga KPM sendiri.\nBeliau turut mengulas lebih lanjut berkenaan penganugerahan Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan dan Tokoh Bahasa Melayu kategori Teknikal dan Vokasional KPM. Ujar beliau, penganugerahan itu telah diwujudkan semenjak tahun 2020 sebagai menghargai usaha dan sumbangan warga KPM dalam memartabatkan bahasa Melayu. KPM telah menerima 31 penyertaan daripada bahagian-bahagian dan 11 penyertaan bagi kategori teknikal dan vokasional. Penyertaan yang sangat memberangsangkan ini memberi petanda yang sangat baik kerana menunjukkan kecenderungan warga KPM dalam memartabatkan bahasa Melayu.\nYBrs. Hajah Zanariah turut menyatakan hasrat dan perancangan KPM untuk tahun hadapan.\nKPM sebagai kementerian yang sentiasa menyokong aktiviti pengayaan bahasa dan budaya akan terus bersikap positif dan memberikan galakan serta bantuan sebaiknya kepada semua pihak yang menganjurkan kepelbagaian program yang dapat memberikan impak yang mendalam terhadap kepentingan dan peranan bahasa dalam pendidikan jangka panjang.\nTambah beliau, KPM juga akan memastikan sebarang usaha untuk menerapkan konsep dan budaya bahasa yang terbaik akan diletakkan sebagai keutamaan dalam menampilkan jati diri bangsa. Antara lain, kerjasama yang berkaitan dengan program kebahasaan ini dengan agensi kerajaan mahupun swasta akan terus dipergiat dan akan merentas semua institusi di bawah KPM, bahkan akan mempergiat penglibatan dan penyertaan daripada warga KPM sendiri.\nSebelum mengakhiri segmen tersebut, Pengarah BPLTV dengan mengambil semangat \u201cKeluarga Malaysia\u201d menyeru masyarakat agar teguh bersama dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri,YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob." "Forum Pelajar Menyuburkan Penguasaan Bahasa Anak Muda Berbangsa Cina dan India\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Bersempena Festival Bahasa dan Sastera 2022, Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Forum Pelajar Ke-30 kali ini diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi mengasah bakat pelajar melalui aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan.\nMenurut Timbalan Menteri Pendidikan I, YB Dato\u2019 Dr. Mah Hang Soon, bahasa Melayu berkaitan rapat dengan perpaduan yang satu daripadanya pancangnya ialah bahasa kebangsaan. Semangat perpaduan ini mestilah diterjemahkan oleh semua kaum dengan menggunakan bahasa kebangsaan untuk berkomunikasi dalam segenap aspek, seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara.\nDalam ucapan perasmian, beliau menegaskan bahawa bahasa kebangsaan mampu menyimpul kukuh ikatan perpaduan negara yang berbilang bangsa sebagai pengantar utama.\nKita percaya hasil daripada pertandingan yang lebih daripada satu dekad ini telah melahirkan ramai pelapis yang mahir berbahasa Melayu dalam pelbagai bidang.\nSebanyak 46 buah sekolah dipertandingkan, yang terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.\nSementara itu, Festival Bahasa dan Sastera 2022 pula melibatkan seramai 12 pasukan bagi kategori suara harmoni maya, manakala deklamasi puisi (41 peserta), \u00a0pidato (560 peserta) dan bercerita (894 peserta).\nPada masa yang sama, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan berkata:\nHari ini, satu lagi lakaran sejarah memartabatkan bahasa kebangsaan.\n\u201cIni merupakan arena terbaik dan penting kepada pelajar bukan Melayu untuk memperkemas penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul, di samping menggalakkan mereka untuk mengambil bahagian dalam kegiatan yang boleh menonjolkan potensi diri mereka.\nKejayaan program saban tahun ini adalah usaha sama dari DBP bersama-sama rakan sinerginya, iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Persatuan Kebudayaan Han Malaysia (HAN), dan Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF).\nTurut hadir bersama-sama ialah YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Dato Goh Hin San, Presiden HAN dan YBrs. Encik Lim Chuan Boon, Presiden PERSPEKTIF.\n\n\nJohan: Sekolah Menengah Jalan Riam, Sarawak\nNaib Johan: Sekolah Menengah Tshung Tsin, Sabah\nTempat Ketiga: Sekolah Menengah Pin Hwa, Selangor\nSagu hati:\nSekolah Menengah Shen Jai, Perak\nSekolah Menengah Foon Yew Kulai, Johor\nSekolah Menengah Chung Ling, Pulau Pinang\nPengerusi Forum Terbaik: Mycearsarion Santa Franklin, Sekolah Menengah Jalan Riam, Sarawak\nAhli Forum Terbaik: Avvy Lim Yi Wei, Sekolah Menengah Tshung Tsin, Sabah\nJohan: Faith Wong Yar Shin, SJKC Wangsa Maju\nNaib Johan: Xavier Wee Xing Hau, SJKC Chung Hua Pujut, Miri\nTempat Ketiga: Ng Zhi Xun, SJKC Yuk Chai, Petaling Jaya\nJohan: Elyzereen Agbayani, SJKC Yuk Choi, Lahad Datu\nNaib Johan: Ravinaasri Nanthakumar, SJKT Jalan Fletcher\nTempat Ketiga: Nhaamyha A/P Vikneswaran, SJKT Kajang\nJohan: Tai Weuy Liang, SM Tsun Jin, Kuala Lumpur\nNaib Johan: Carmen Ngo, SM Kuen Cheng, Kuala Lumpur\nTempat Ketiga: Estherfenny Bathrice Romie, SM Tshung Tsin Tenom\nJohan: Sekolah Menengah Jalan Riam, Miri, Sarawak\nNaib Johan: Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Kuala Lumpur\nTempat Ketiga: Sekolah Menengah Foon Yew, Johor Bahru, Johor" "UUM Kekal Tersenarai dalam QS Global MBA Rankings 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nProgram MBA Universiti Utara Malaysia (UUM) kekal berada pada kedudukan ke-201 hingga ke-250 dalam QS Global MBA Rankings 2023, sekali gus menjadi satu-satunya universiti di Malaysia yang tersenarai dalam kedudukan berkenaan.\nDua bidang pengkhususan graduan program MBA Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), iaitu perundingan dan pengurusan operasi, berada dalam senarai 100 terbaik dunia apabila tersenarai pada kedudukan ke-91 hingga ke-100 bagi \u201cQS Global MBA by Career Specialization Rankings 2023\u201d. Penarafan ini berdasarkan kepada kerjaya graduan, pandangan majikan dan kekuatan penyelidikan.\nNaib Canselor, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata,\nPencapaian ini amat membanggakan memandangkan UUM merupakan universiti berfokus dalam bidang pengurusan berbanding dengan universiti lain yang bersifat komprehensif.\nJelas beliau, pengiktirafan ini pasti dapat menarik lebih ramai pelajar antarabangsa dan tempatan untuk menyertai program MBA UUM.\nBeliau menyifatkan kejayaan ini merupakan satu pencapaian terbaik sebagai asas untuk mempromosikan program MBA dan beliau optimis program lain juga akan mendapat sambutan apabila pelajar di luar melihat UUM dalam kedudukan tersendiri.\nSaya ingin menyatakan rasa gembira atas kejayaan UUM dan kita satu-satunya program MBA di Malaysia yang tersenarai dalam kedudukan ke-201 hingga ke-250 dunia jadi tahniah kepada OYAGSB dan seluruh warganya serta warga UUM yang menyumbang kepada kejayaan ini.\n\u201cOYAGSB mempunyai nama dan kualiti tersendiri dengan pencapaian dalam kedudukan berkenaan secara tidak langsung telah menjulang universiti itu di persada dunia,\u201d ujarnya pada Bengkel Pemantapan Pelan Strategik dan Bajet Tahun 2023 yang berlangsung di Pulau Pinang, baru-baru ini.\nSementara itu, Provos UUMKL merangkap Dekan OYAGSB, Profesor Dr. Hassan Abu Bakar berkata,\nKejayaan ini menunjukkan kualiti pengajaran dan pembelajaran OYAGSB setaraf dengan universiti antarabangsa.\nAntaranya dalam aspek aplikasi pengetahuan praktikal dan teori dalam pembelajaran, menggunakan kes \u2018Harvard Business Review\u2019 dalam kelas, komposisi pelajar yang sepenuhnya mempunyai pengalaman bekerja, mereka juga bekerja di syarikat terbilang juga berjawatan tinggi, dan keterlihatan OYAGSB.\n\u201cProgram MBA sepenuh masa melengkapkan pelajar dengan kemahiran penting untuk landskap perniagaan global yang terus berkembang. Jadi, tidak hairanlah kebanyakan pelajar memiliki pengalaman kerja, malah ada yang berkerjaya hebat menjawat jawatan tertinggi seperti ketua eksekutif dan pengarah,\u201d ujarnya.\nBeliau berharap momentum itu dapat diteruskan dan dikekalkan agar UUM terus melangkah ke hadapan dan dapat merealisasikan misi untuk memastikan OYAGSB berstatus \u201cTriple Crown\u201d, selain \u201cTop Business School\u201d.\nUntuk mencapai \u2018Triple Crown\u2019, kita sedang bergerak ke arah EQUIS menjelang tahun 2025 dan impian ini sudah pasti akan menjadi kenyataan setelah kita memperoleh AACSB dan AMBA.\n\u201cTerima kasih kepada semua, terutamanya Profesor Dr. Sany Sanuri Mohd Mokhtar yang merintis usaha ini sehingga kita menempa reputasi cemerlang dalam kedudukan dunia, terutamanya dari aspek pertambahan jumlah pelajar,\u201d ucapnya.\nProgram MBA OYAGSB mendapat akreditasi antarabangsa oleh AACSB dan AMBA, selain Chartered Management Institute (CMI) sebagai badan profesional terkemuka dunia dalam pengurusan dan kepimpinan.\nMBA memberi tumpuan kepada membangunkan pemimpin perniagaan masa depan dengan kemahiran, serta kecekapan untuk menangani persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah dengan cara yang cekap dan berkesan." "AISB, Syarikat Pemula Pertama UiTM Cawangan Perlis Mengkomersialkan Produk Kecantikan Berasaskan Harumanis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau\u00a0\u2013 Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis buat julung-julung kalinya melakar sejarah dengan penubuhan syarikat pemula pertama, Athanliz Innovations Sdn. Bhd. (AISB)\u00a0yang berasaskan harumanis,\u00a0hari ini.\nAISB ditubuhkan bagi menghasilkan produk inovasi kecantikan yang berasaskan Harumanis dan Latok dengan membawa jenama Lindifera. Terdapat empat produk yang dihasilkan,\u00a0iaitu Lindifera Yogurt Beauty Drink, Lindifera Beauty Scrub, Lindifera Beauty Lipbalm, dan Lindifera Beauty Soap.\nKesemua produk yang dikeluarkan ini mempunyai bahan aktif daripada buah\u00a0Harumanis dan Latok untuk kesihatan umum dan kecantikan. Yang lebih istimewanya, produk yang dihasilkan dengan menggunakan ekstrak Harumanis dan Latok dari ladang Harumanis UiTM Cawangan Perlis sendiri.\nUntuk rekod, ladang UiTM Cawangan Perlis merupakan antara pengeluar Harumanis terbesar di negara ini dengan kapasiti tanaman sebanyak 1500 pokok Harumanis sejak mula diperkenalkan semenjak tahun 2011 dengan pengeluaran kira-kira\u00a021\u00a0hingga 23 tan bagi setiap musim.\nMelalui hasil tanaman ini, beberapa produk hiliran turut dikomersialkan, seperti Kordial Harumanis, Jus Harumanis menerusi syarikat AISB.\nAtas\u00a0sokongan berterusan pihak pengurusan UiTM, terutamanya YBhg.\u00a0Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor\u00a0Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, syarikat ini telah berjaya ditubuhkan atas inisiatif empat orang pensyarah UiTM Cawangan Perlis dari pelbagai bidang kepakaran sebagai Ahli Lembaga Pengarah AISB.\nGabungan ini terdiri daripada Dr. Athifah Najwani Shahidan (Pengarah Urusan), Dr. Ang Lee Sin (Pengarah Operasi), Dr. Siti Nurlia Ali (Pengarah Pengurusan Aset dan Pelaburan), dan Dr. Nur Izzati Khairudin (Pengarah Pentadbiran Am) yang kesemua mereka pada mulanya berkhidmat di Unit Pengurusan Inovasi dan Kepakaran (UPIK),\u00a0serta dua orang Pengarah Bebas Bukan Eksekutif,\u00a0iaitu Encik Wan Mohd Yasser Wan Abdoh dan Encik Mohamad Niza Haji Md Nor.\nPada masa yang sama, AISB juga disokong oleh pemain industri,\u00a0seperti ZEM Holdings Sdn.\u00a0Bhd.\u00a0dan Malthai Hub. Selari dengan pelancaran syarikat pemula pertama, satu majlis penandatanganan perjanjian persefahaman antara AISB dengan Qveen Birds Nest Enterprise turut diadakan.\nPenubuhan AISB ini dilihat bertepatan dengan aspirasi kerajaan dalam Revolusi Perindustrian\u00a04.0, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) kesembilan,\u00a0iaitu Industri, Inovasi dan Infrastruktur,\u00a0dan menepati 10 Pemacu Sosioekonomi (Perniagaan dan Perkhidmatan Kewangan;\u00a0Pertanian dan\u00a0Perhutanan;\u00a0dan Pendidikan), yakni fungsi kolaborasi Quadruple Helix\u00a0(Kerajaan-Industri-Universiti-Komuniti) dipenuhi dalam memacu ke arah inisiatif University for [email\u00a0protected] Malaysia atau UniTY yang diketengahkan oleh YB Datuk Seri Dr.\u00a0Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi melalui Amanat Menteri Pengajian Tinggi.\nYBhg. Profesor\u00a0Madya Ts. Dr. Shukor Sanim dalam ucapan beliau menyatakan penghasilan produk inovasi Lindifera dilihat bukan sahaja dapat menjanakan pendapatan bagi syarikat, malah turut membantu dalam penjanaan pendapatan bagi UiTM Cawangan Perlis dan pengusaha tempatan,\u00a0selain dapat menjadikan UiTM sebagai sebuah universiti berkonsep edutourism\u00a0dan membudayakan keusahawanan di dalam kampus.\u00a0Beliau turut berharap agar lebih banyak lagi produk hiliran berasaskan harumanis dapat terus dihasilkan oleh penyelidik dari UiTM Cawangan Perlis." "Membudayakan Integriti dan Antirasuah dalam Keluarga Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013 Sektor swasta digalakkan untuk mengambil bahagian dalam melaksanakan program integriti dan antirasuah sebagai salah satu usaha menyemarakkan budaya integriti dan benci rasuah dalam kalangan masyarakat. Pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu membolehkan syarikat mendapat potongan cukai di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967. Berdasarkan peruntukan itu, syarikat atau penyumbang layak memohon potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan satu amaun bersamaan dengan amaun perbelanjaan yang dibuat.\nPerkara ini disahkan oleh Datuk Abu Tariq Jamaluddin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN hari ini ketika menerima kunjungan hormat Ahmad Sabri Mohamed, Presiden Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) Malaysia, semalam. Dalam pertemuan tersebut, pihak LHDN bersetuju untuk menjadi Rakan Strategik kepada ACeIO bagi bersama-sama menjayakan agenda pembudayaan integriti dan antirasuah dalam masyarakat.\nPihak LHDN juga menyatakan kesediaan untuk bersama-sama menjayakan program-program anjuran ACeIO seperti Sambutan Hari Integriti Nasional, Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) dan Liga Integriti (i-League). Sehubungan dengan itu, pihak LHDN menyeru semua pihak khususnya organisasi dan syarikat swasta untuk terus menyumbang dalam menjayakan program integriti dan antirasuah termasuklah program anjuran ACeIO yang termasuk dalam tawaran insentif pengecualian cukai.\nInsentif pengecualian cukai ini secara dasarnya telah diberi oleh Menteri Kewangan melalui surat Kementerian Kewangan (MoF) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertarikh 5 April 2021. Insentif ini diharapkan akan dapat menggalakkan lebih banyak syarikat atau organisasi korporat bekerjasama dalam melaksanakan program pengukuhan integriti dan antirasuah serta membantu kerajaan dalam menjayakan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP).\nPada masa yang sama, Presiden ACeIO berterima kasih kepada kerajaan, khususnya SPRM dan LHDN atas inisiatif dan insentif murni ini. Hal ini memberi isyarat jelas kepada semua pihak bahawa jenayah rasuah tidak dikompromikan dan negara memerlukan persekitaran perniagaan yang bersih daripada rasuah. Sehubungan dengan itu, usaha pengukuhan integriti dan antirasuah dalam masyarakat tidak boleh diletakkan di bahu kerajaan khususnya SPRM semata-mata. Perkara ini perlu melibatkan semua pihak khususnya mereka yang menerima limpahan rezeki daripada sumber ekonomi negara ini." "Lokar Murid: Inisiatif KPM Menangani Isu Beg Berat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGombak \u2013 Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin telah hadir menyempurnakan \u201cInisiatif Menangani Beg Berat: Majlis Penyerahan Lokar Fasa Pertama\u201c dalam sebuah majlis yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia, Kuala Lumpur.\nDalam ucapan YB Menteri Kanan Pendidikan, beliau menjelaskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sangat komited dalam usaha menangani isu beg berat dalam kalangan murid sekolah. Lokar sekolah merupakan kemudahan yang bakal memberikan manfaat kepada 249 646 murid sekolah rendah dan merupakan satu daripada tujuh inisiatif KPM dalam menangani isu beg berat. Memetik ucapan beliau, \u201cinisiatif pembekalan lokar ke sekolah dua sesi telah diumumkan pada 6 Mac 2022 untuk menangani isu beg berat dalam kalangan murid dan pada hari ini, penyerahan lokar fasa pertama berjaya dilancarkan\u201d.\nLokar ini bakal dibekalkan kepada 626 buah sekolah dua sesi bagi fasa pertama dengan kerja pemasangan yang dijangka siap sepenuhnya pada akhir bulan ini. Menurut beliau lagi, bagi fasa pertama lokar berkenaan akan dibekalkan kepada murid tahap satu,iaitu Tahun Satu dan Tahun Dua dengan fasa kedua yang dijadualkan pada tahun depan.\nMajlis pelancaran ini disempurnakan dengan sesi lawatan YB Menteri Kanan Pendidikan dengan diiringi oleh tetamu kehormat ke lokasi lokar yang ditempatkan di sekolah tersebut.\nTurut hadir, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham." "Pandangan Profesor Malik Badri terhadap Behaviorisme\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKolumnis tetap Dewan Masyarakat, Profesor Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom telah menulis sebuah artikel dalam majalah tersebut\u00a0yang dipisahkan kepada tiga bahagian mengenai psikoanalisis dengan menampilkan tokohnya, iaitu Sigmund Freud dan juga pandangan Profesor Malik Badri terhadap psikoanalisis sebagai teori psikologi yang tidak bertuhan.\nPenulisan beliau terhadap kritikan yang dilakukan oleh Profesor Malik Badri dalam menyedarkan pelajar dan ahli psikologi Muslim agar tidak berterusan mengikut teori psikologi Barat menunjukkan bahawa Profesor Malik Badri merupakan seorang tokoh revolusi dalam bidang psikologi. Kritikan yang dilakukan oleh Profesor Malik Badri terhadap teori psikologi Barat ini sekali gus membuka ruang dan peluang kepada ahli psikologi untuk mula menggali khazanah tokoh ilmuwan Muslim yang terdahulu dalam mencari serta menubuhkan teori baharu dalam bidang ilmu jiwa, yakni teori psikologi Islam.\nKritikan Profesor Malik Badri terhadap teori psikologi Barat tidak berhenti dalam aspek psikoanalisis sahaja. Dalam buku magnum opusnya, The Dilemma of Muslim Psychologist, Profesor Malik Badri telah mengkritik teori yang datang selepas teori psikoanalisis, iaitu teori behaviorisme. Teori behaviorisme ini dilihat sebagai sebuah teori yang tidak hanya menyatakan bahawa manusia ini tiada beza dengan haiwan lain, namun teori ini juga seperti teori psikoanalisis sebelum ini. Teori ini merupakan antara teori psikologi yang tidak meletakkan jiwa dan agama sebagai konsep terpenting dalam memahami minda manusia.\nBehaviorisme merupakan teori dalam psikologi yang bertunjangkan persekitaran. Teori ini menjelaskan situasi manusia itu berperangai, iaitu sesuai dengan adaptasi yang dipelajarinya kepada sesuatu situasi atau persekitaran. Behaviorisme merupakan teori dalam pemikiran psikologi yang datang selepas kejayaan Sigmund Freud dalam mengeluarkan teorinya sendiri dalam bidang kajian ilmu jiwa manusia ini yang diberi nama psikoanalisis. Berbanding dengan psikoanalisis yang mengkaji jiwa manusia melalui fikiran bawah sedar seseorang individu tersebut, behaviorisme yang dipelopori oleh John Watson dengan eksperimen \u201canjing jelir lidah bersama loceng\u201c, memfokuskan\u00a0 persekitaran sebagai satu-satunya punca manusia berperangai atau bertingkah laku, iaitu dengan memberikan tindak balas terhadap persekitaran.\nDalam teori pelaziman klasik yang dilakukan oleh Ivan Pavlov, beliau mengatakan bahawa teori behaviorisme ini meletakkan fungsi stimuli atau rangsangan dan juga tindak balas kepada rangsangan tersebut. Eksperimen yang menjadi ikutan hingga kini, memperlihatkan tingkah laku tersebut boleh diperkukuh dengan menggunakan kaedah tertentu, seperti juga anjing yang terjelir lidah menunggu makanan. Eksperimen yang dilakukan oleh Ivan Pavlov tersebut, berjaya membuktikan perangai haiwan dapat diperkukuh dengan menggunakan kaedah pengukuhan klasik. Kita juga dapat melihat pengukuhan klasik ini yang masih digunakan hingga sekarang dalam penternakan, bahkan dalam pengiklanan. Penggunaan pengukuhan klasik ini dalam bahagian pengiklanan dapat membantu peniaga dalam meraih jualan dengan meletakkan iklan yang bersesuaian sehingga dapat menggalakkan individu yang melihat untuk membeli barang mereka.\nPelaziman klasik yang menjadi tulang belakang kepada mazhab behaviorisme, tidak hanya berhenti setakat ini. Mazhab psikologi tingkah laku ini telah berkembang ke tahap yang seterusnya, yang disebut sebagai fasa kedua. Fasa kedua dalam mazhab ini merupakan kesinambungan terhadap teori pelaziman klasik tersebut. Ahli teori behaviorisme mendapati bahawa terdapat masalah dalam meletakkan teori pelaziman klasik sebagai teori dalam mengkaji tingkah laku manusia. Sekurang-kurangnya terdapat tiga permasalahan yang terdapat pada pelaziman klasik ini. Perubahan ke fasa kedua dalam mazhab behaviorisme oleh John Watson dengan memperkenalkan teori pelaziman operan. Teori ini secara umumnya memberikan pendedahan kepada tingkah laku manusia itu boleh dilazimkan dengan menggunakan pengukuhan positif dan negatif.\nSetiap ahli teori behaviorisme ini berminat terhadap kajian perubahan dalam manifestasi tingkah laku, dan bukannya keupayaan mental seperti yang didokong oleh konstruktivisme. Berdasarkan teori tersebut, banyak pihak yang berpendapat bahawa dalam kajian tentang tingkah laku manusia, manusia beradaptasi atau bertingkah laku sebagai suatu kesan terhadap perubahan situasi dan persekitaran yang didiami oleh mereka. Menurut Kamarudin (2010), ahli teori behaviorisme ini berpendapat bahawa otak manusia merupakan sebuah kotak hitam yang gelap dan apa-apa di dalam otak tersebut tidak dapat diamati dan diselidiki. Oleh sebab itu, mereka menolak secara mutlak sebarang kajian atau pembelajaran yang berkaitan dengan otak manusia.\nTidak dinafikan pemikiran teori behaviorisme ini banyak membantu dalam merawat tingkah laku manusia, apatah lagi terapi yang berdasarkan kepada teori ini masih lagi digunakan oleh ahli psikologi. Namun begitu, kita harus bersedia untuk menerima hakikat bahawa pembelajaran mengenai hakikat personaliti dan tingkah laku manusia merupakan pembelajaran yang cukup rumit.\nManusia seperti yang disebut oleh Imam Ghazali di dalam bukunya The Alchemy of Happiness, terdiri daripada \u2018heart\u2019 yang jika diterjemahkan bukan bermaksud jantung, tetapi jiwa yang membentuk peribadi setiap individu. Kajian mengenai jiwa atau roh manusia ini merupakan sebuah pembelajaran yang masih lagi dikaji. Hal ini demikian kerana pengetahuan tentang roh, menurut Al-Ghazali dalam bukunya, merupakan pengetahuan yang disimpan oleh Allah bagi hamba-Nya. Oleh itu, kajian tentang manusia dengan kehadiran jiwa dan roh tidak mungkin akan boleh disamakan dengan kajian tentang tingkah laku haiwan atau binatang lain, apatah lagi kajian yang juga dilakukan di dalam makmal.\nTeori behaviorisme ini ditentang oleh Profesor Malik Badri disebabkan oleh beberapa faktor antaranya ialah teori ini telah menidakkan fungsi jiwa dan minda manusia dalam kajian mereka. Kajian terhadap tingkah laku yang diimani oleh teori behaviorisme ini hanya memberikan fokus terhadap kajian tingkah laku manusia di dalam makmal semata-mata. Behaviorisme, seperti juga teori psikoanalisis sebelum ini cuba untuk lari daripada perkaitan agama dalam kehidupan manusia. Keghairahan mereka ini yang cuba untuk menidakkan fungsi agama dalam kehidupan individu akhirnya membawa mereka untuk bersembunyi di sebalik teori saintifik yang berselindung di sebalik bilik makmal, namun nyatanya kajian mereka hanya memberikan sedikit pengetahuan dalam memahami psikologi manusia itu sendiri.\nProfesor Malik Badri juga bersetuju dengan tokoh Carl Rogers dan Lev Vygotsky yang mengkritik behaviorisme ini dengan memahami manusia dari sudut tindak balas mereka terhadap persekitaran semata-mata. Konstruktivisme, sebuah teori yang wujud untuk menyangkal behaviorisme ini cuba untuk memberikan sudut pandang lain dalam memahami tingkah laku manusia, iaitu dengan melihat dari sudut manusia itu sendiri sebenarnya mempunyai tindak balas kognitif yang tersendiri dalam menentukan cara mereka beradaptasi dengan persekitaran mahupun masalah. Profesor Malik Badri, dengan konsistennya masih mengkritik keghairahan teori ini yang cuba untuk lari dari agama sehingga akhirnya terlepas daripada memahami fungsi jiwa, minda serta pemikiran manusia itu sendiri untuk memahami tingkah laku manusia dalam ilmu psikologi.\nProfesor Malik Badri telah meninggalkan sebuah legasi yang cukup besar terhadap ilmu psikologi. Dengan membuka pintu terhadap kajian serta hubungan yang erat antara Islam dengan psikologi manusia, beliau menunjukkan jalan kepada kita untuk terus mengkaji dengan lebih mendalam lagi. Kita dapat lihat ilmu psikologi\u00a0 yang hingga kini masih terbuka luas untuk kajian kerana masih belum memahami dengan baik psikologi manusia itu sendiri.\nIslam sebagai agama yang syumul serta menyeluruh ini mampu untuk memberikan panduan dalam memahami ilmu jiwa manusia itu sendiri. Keghairahan dalam mengagung-agungkan tokoh psikologi Barat perlu berasas dan tidak secara membabi buta kerana apabila berlarutan akan membawa pelajar serta pengamal ilmu psikologi ini ke arah kebinasaan, iaitu terperosok ke dalam lubang biawak yang sering diulang-ulang oleh Profesor Malik Badri itu sendiri di dalam buku beliau." "Pemartabatan Bahasa, Sastera dan Budaya dalam Pembinaan Negara Bangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKEDAH \u2212 Konsep negara bangsa di Malaysia telah lama diperkatakan sejak negara mencapai kemerdekaan hingga kini. Perkara ini penting kerana pembentukan negara bangsa melambangkan kekuatan dalaman negara. Dalam usaha membina negara bangsa, hal ini bukanlah sesuatu yang cukup mudah kerana pembinaannya melibatkan masa yang lama kerana terdapat banyak faktor yang mempengaruhi pelaksanaannya.\nOleh sebab itu, bagi menjayakan konsep negara bangsa di negara ini terutamanya dalam arus teknologi moden ini, kita seharusnya dapat mengenali cabaran yang mungkin akan dihadapi oleh negara demi kemakmuran dan kedamaian termasuklah cabaran dalam bidang bahasa, sastera dan budaya dalam pembinaan negara bangsa.\n\nSehubungan dengan itu, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (RENTAS 2021) pada 2 hingga 3 Jun 2021 secara dalam talian.\nDengan berlatarkan tema \u201cBahasa, Sastera dan Budaya Mendepani Cabaran Pembinaan Negara Bangsa\u201c, RENTAS 2021 mengetengahkan dua orang tokoh pendidikan bahasa terkemuka, iaitu Profesor Dato\u2019 Dr. Teo Kok Seong dan Profesor Madya Dato\u2019 Dr.\u00a0Nuraini Yusoff, dengan pembentangan topik yang menarik yang berjudul \u201cPemartabatan dan Pengantaraan Bahasa Melayu\u201d dan \u201cMemperkasakan Kluster Ilmu\u201d. Majlis ini telah dirasmikan oleh Profesor Dr. Shukri Ahmad, iaitu Dekan SLCP.\n\nSesi pembentangan tersebut juga melibatkan beberapa orang pembentang kertas kerja dengan beberapa orang pengerusi. Sesi yang bermula pada 2 Jun 2021 dan berakhir pada 3 Jun 2021 ini menampilkan perbahasan wacana, idea dan kajian oleh para pembentang tempatan dan antarabangsa yang merangkumi topik tentang pemartabatan dan pengantarabangsaan bahasa, sastera dan budaya; sains dan teknologi dalam bahasa, sastera dan budaya; bahasa, sastera dan budaya dari perspektif komunikasi dan media; pengurusan dan pemasaran produk bahasa, sastera dan budaya; dan agama, falsafah dan ketamadunan dalam bahasa, sastera dan budaya." "Suburkan Penggunaan Bahasa Melayu Bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n31 Ogos \u00a02022 menandakan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-65. Pada setiap tahun, sambutan bagi meraikan hari bersejarah negara diisi dengan pelbagai acara. Persoalannya, apakah sudah mencukupi menyambut Hari Kebangsaan pada setiap tahun dengan hanya memasang Jalur Gemilang pada bangunan kerajaan, pejabat dan kilang dan rumah halaman?\nApakah sudah mencukupi dengan menggalakkan rakyat mengibarkan Jalur Gemilang bersempena dengan Hari Kebangsaan semata-mata? Adakah rakyat sebenarnya sudah memahami, menghayati dan menerap nilai-nilai murni yang terselit dalam tema-tema hari kebangsaan? Apakah pengajaran yang diperoleh daripada menyambut Hari Kebangsaan setiap tahun?\nTema pada tahun ini ialah \u201cKeluarga Malaysia Teguh Bersama\u201d. Tema ini amat sesuai dan relevan bagi tahun 2022 kerana ketika ini negara menghadapi pelbagai masalah. Antaranya termasuklah masalah perhubungan antara kaum, malah sesama kaum disebabkan oleh perbezaan ideologi politik.\nDalam menghayati makna kemerdekaan, amat wajar bagi rakyat terutamanya golongan pascamerdeka menyingkap dan merenung kembali beberapa peristiwa yang harus terpahat dalam ingatan setiap warga Malaysia. Liku-liku perjalanan yang bertempuh dengan pelbagai peristiwa penting dalam mencapai kemerdekaan jelas mempamerkan betapa pentingnya semangat kerjasama, tolak ansur \u00a0dan \u00a0perpaduan \u00a0antara kaum.\nAntara peristiwa penting yang harus diingati oleh rakyat Malaysia termasuklah perjuangan orang Melayu untuk mempertahankan hak keistimewaan mereka selaku bangsa pribumi Tanah Melayu. Orang Melayu bersatu untuk bertindak apabila hak istimewa mereka diancam. Perpaduan yang jitu dalam kalangan orang Melayu \u00a0terpancar apabila pihak penjajah British cuba menghapuskan hak keistimewaan\u00a0dan kuasa politik orang Melayu di\u00a0tanah mereka\u00a0sendiri melalui sistem\u00a0pentadbiran\u00a0Malayan Union (MU). Bahkan MU juga cuba menghilangkan kuasa Raja-Raja Melayu kecuali dalam hal-hal agama Islam.\nOrang Melayu bersatu\u00a0padu\u00a0dengan cara\u00a0memprotes dan mendesak penjajah\u00a0British supaya menarik balik MU dan mengembalikan hak keistimewaan orang Melayu. Atas penolakan dan penentangan hebat orang Melayu, penjajah British menggantikan MU dengan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (PPTM)\u00a0yang memartabatkan kembali status keistimewaan\u00a0orang Melayu sambil menobatkan semula kuasa Raja-Raja Melayu sebagai pemerintah di negeri masing-masing.\nMeskipun pada awalnya orang Cina dan India kurang senang hati dengan PPTM,\u00a0perkembangan politik seterusnya mendorong mereka bersatu dan bekerjasama dengan para pemimpin Melayu untuk menerima PPTM.\nBegitu juga dengan orang bukan Melayu yang bangkit bertindak apabila \u00a0peluang mempelajari bahasa ibunda mereka diancam. Laporan Barnes yang disediakan oleh kerajaan British mencadangkan agar sekolah rendah menggunakan bahasa Melayu atau Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah. Orang Cina dan India bangkit memprotes Laporan Barnes kerana bahasa Cina dan Tamil dipinggirkan. Maka itu, orang Cina mengemukakan Laporan Fenn-Wu untuk meneruskan sukatan pelajaran Bahasa Cina di sekolah-sekolah vernakular.\nPendidikan bahasa Tamil di sekolah-sekolah Tamil pula\u00a0tidak langsung dipentingkan malah tidak dipedulikan kerajaan penjajah. Namun\u00a0begitu, Malayan Indian Congress (MIC) pimpinan K.\u00a0Ramanathan mengemukakan memorandum kepada kerajaan British untuk menuntut bahasa Tamil diteruskan di\u00a0Sekolah Rendah\u00a0Jenis Kebangsaan\u00a0Tamil sambil murid-murid\u00a0India\u00a0mempelajari bahasa Melayu. Susulan\u00a0hal\u00a0itu, lahirlah Ordinan Pelajaran (1952) yang kemudiannya menjadi rujukan dan asas penggubalan Laporan Razak yang menjadi teras kepada dasar pendidikan negara.\nWalaupun pelbagai halangan dan rintangan ditimbulkan oleh beberapa pihak untuk menggagalkan usaha-usaha ke arah kemerdekaan, terutamanya pemberontakan bersenjata oleh Parti Komunis Malaya, orang Cina dan India bersatu padu dan bersama-sama orang Melayu dalam satu barisan untuk berjuang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu daripada British.\nPeristiwa dan rundingan ke arah mencapai kemerdekaan itu menunjukkan orang bukan Melayu sedia bekerjasama malah bertolak ansur dengan orang Melayu dalam mengakui hak keistimewaan orang Melayu selaku kaum pribumi Tanah Melayu sambil orang Melayu dan Raja-Raja Melayu sanggup, sedia dan rela menawarkan status kewarganegaraan kepada orang Cina dan India.\nPerlembagaan kemerdekaan yang disediakan sebagai syarat bagi kemerdekaan telah memasukkan beberapa perkara penting terutamanya hak keistimewaan orang Melayu atau Bumiputera seperti terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Persekutuan, tiada halangan bagi menggunakan, mempelajari dan mengembangkan bahasa lain (contohnya, bahasa Cina dan Tamil).\nPerlembagaan tersebut yang dipersetujui oleh semua pihak, iaitu Raja-Raja Melayu, orang Melayu, orang Cina dan orang India, telah membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah British pada 31Ogos 1957. Perlu ditekan di sini bahawa negara berjaya mencapai kemerdekaan kerana wujudnya persefahaman, tolak ansur dan perpaduan yang jitu antara kaum. Kebijaksanaan pemimpin dan sifat mementingkan kepentingan negara yang menyerlah dalam kalangan para pemimpin terdahulu telah menyumbang pada usaha melepaskan negara daripada genggaman penjajah Inggeris.\nMeskipun negara telah 65 tahun merdeka daripada belenggu penjajahan Inggeris, minda segelintir rakyat Malaysia masih\u00a0lagi\u00a0terikat malah terkunci dengan amalan bahasa dan budaya penjajah Inggeris. Sebahagian besar rakyat negara ini masih lagi mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat masih tidak meluas, malah kurang membanggakan tidak seperti penggunaan bahasa Jepun, Mandarin, Perancis, Jerman,\u00a0Rusia dan sebagainya oleh rakyat negara-negara tersebut\nSehubungan dengan itu, marilah kita sebagai rakyat Malaysia sama-sama bertekad dalam memartabatkan bahasa Melayu di dalam negara dan di luar negara bersempena dengan sambutan hari kebangsaan ini. Oleh itu, rakyat Malaysia haruslah mengambil daya dan usaha untuk mengeratkan lagi hubungan antara kaum dan mengelakkan perpecahan antara kaum dengan terus mengisi kemerdekaan selaras dengan tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini. Rakyat perlu sentiasa mengingati peribahasa Melayu seperti \u201cBersatu Teguh Bercerai Roboh\u201d pada setiap masa dalam menghadapi dan mendepani cabaran masa hadapan." "CIMA Bantu Golongan Kurang Berkemampuan di Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBukit Ketri \u2013 Cement Industries Of Malaysia Berhad (CIMA) pada hari ini menyumbangkan sebanyak RM200 000 kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, sempena sambutan ulang tahun ke-50 CIMA.\nMenurut YTSP, sumbang tersebut akan dimanfaatkan bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk meringankan beban golongan kurang berkemampuan di negeri ini. Jumlah RM100 000 daripadanya adalah untuk Tabung Pendidikan YTSP Perlis, manakala RM100 000 lagi untuk dana menaik taraf Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis yang diusahakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), serta YTSP Perlis itu.\nTitah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail,\nSebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab, CIMA amat menitikberatkan aspek tanggungjawab korporat sosial, iaitu komited memainkan peranan dalam menyejahterakan dan menghulurkan bantuan kepada golongan masyarakat yang kurang bernasib baik.\nSimbolik penyerahan disempurnakan oleh Pengerusi CIMA Berhad, Dato\u2019 Zaiviji Ismail kepada Setiausaha Kehormat YSTP Perlis, Dato\u2019 Johari Darus di kilang CIMA di Bukit Ketri pada petang semalam sambil disaksikan oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.\nDalam ucapan beliau, Dato\u2019 Zaiviji memaklumkan bahawa selaku sebuah syarikat yang bertanggungjawab, CIMA menyambut baik titah seruan Tuanku Raja Muda Perlis yang juga merangkap Pengerusi YTSP Perlis agar syarikat korporat sentiasa melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan berkongsi limpahan ekonomi dengan mereka yang memerlukan.\nCIMA yang merupakan anak syarikat milik penuh UEM Group Berhad, telah mula beroperasi sejak 1973 di negeri Perlis menerusi kilang simen pertamanya yang terletak di Bukit Ketri, dan telah menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi negeri secara langsung.\u201d\n\u201cSelain itu, CIMA juga turut mencipta peluang pekerjaan dan mewujudkan peluang perniagaan kepada syarikat-syarikat tempatan.\nTurut hadir, Pengarah Urusan CIMA, Sharuddin Omar Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.\nDato\u2019 Zaiviji\u00a0 percaya, inisiatif yang bakal dilaksanakan oleh YTSP Perlis nanti pastinya dapat membantu menyejahterakan kehidupan, malah menaik taraf status sosioekonomi mereka yang terlibat dengan jayanya." "DBK dan DMK 2022 Dijayakan di MAFI\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Usaha membudayakan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini perlu diteruskan sementelah menyedari akan kepentingan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pemersatu. Pelbagai pendekatan baharu perlu dilakukan untuk menarik pelbagai lapisan masyarakat dan hal ini merupakan cabaran yang perlu didepani bagi memastikan kelestarian bahasa kebangsaan di negara ini.\nDalam usaha memberikan ruang dan peluang kepada masyarakat membudayakan penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan harian, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama pelbagai agensi telah mengadakan pelbagai aktiviti bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2022 dan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2022.\nPada 6 Oktober 2022, telah diadakan majlis ringkas penyampaian hadiah Pertandingan Gambar Berdialog serta Pertandingan Menulis dan Mendeklamasi Puisi di Lobi Wisma Tani Putrajaya yang dianjurkan oleh DBP dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI). Majlis dihadiri oleh Pengarah Penerbitan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat, yang mewakili Ketua Pengarah DBP dan Setiausaha Bahagian Pentadbiran, MAFI, Puan Azura Abdullah.\nPertandingan Gambar Berdialog bersempena dengan DBK 2022 Peringkat MAFI berjaya menarik 31 penyertaan daripada kakitangan MAFI dan agensi di bawahnya dari seluruh negara. Selain menguji peserta dari sudut kreativiti dan teknikal, dialog yang dihasilkan juga mempamerkan kelancaran berbahasa peserta yang telah berjaya memikat juri dengan susuan kata yang teratur.\nTempat pertama pertandingan ini dimenangi oleh Hanuna Noor Ramle dengan tajuk gambar Labu Sayung Buah Tembikai dari Jabatan Perikanan Malaysia (DOF). Tempat kedua dimenangi oleh Nor Ain Muhamat Noor, dari Bahagian Pentadbiran, MAFI, dengan gambar bertajuk Pengalaman Membanting Padi Maha 2022, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Nor Farazilah Puteh, bertajuk Impianku dari Bahagian Permodenan Pertanian, MAFI.\nTempat sagu hati masing-masing dimenangi oleh Zainab Daud dari IADA Kemasin, Semerak, dengan tajuk Padi dan Petani, Nurul \u2018Awatif Hanani Hazarudin dari Pejabat Penasihat Undang-undang, MAFI, dengan tajuk Nostalgia: Maha 2022 dan Mohd Hairi Sallehudin dari Bahagian Pembangunan Industri Padi, MAFI, dengan tajuk gambar, Kambing Oh Kambing.\nPertandingan Menulis dan Mendeklamasi Puisi bersempena dengan DMK 2022 Peringkat MAFI yang dilaksanakan secara dalam talian melalui Facebook Perpustakaan MAFI pula mencungkil bakat kreatif kakitangan MAFI dan menarik penyertaan sebanyak 12 orang peserta. Kebolehan mencipta dan mendeklamasikan sajak oleh para peserta membuktikan bahawa warga MAFI mempunyai minat dan berbakat dalam bidang penulisan kreatif di samping melaksanakan tugas harian yang ternyata memunculkan ilham untuk berkarya.\nTempat pertama pertandingan ini dimenangi oleh Muhammad Hilmi Nordin dengan judul sajak \u201cTinta\u201d, tempat kedua dimenangi oleh Muhammad Hazhizh Saparudin dengan sajak berjudul \u201cMusafir di Tanah Gersang\u201d, manakala Ismalina Isa mendapat tempat ketiga dengan sajak \u201cMinda Merdeka\u201d.\nPenerima hadiah sagu hati ialah Muhamad Firdaus Sharuddin, dengan sajak berjudul \u201cMembaca Memerdekakan Minda\u201d, Muhammad Alif Mohd Tarmizi dengan sajak \u201cKalam Merdeka\u201d dan Norzalina Abd Rahman dengan memilih \u201cArah Merdeka\u201d sebagai tajuk sajak.\nSetiap peserta menerima hadiah berupa wang tunai berserta buku terbitan DBP dan sijil penyertaan." "Menyebarkan Ilmu melalui Wakaf Buku\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nOleh Mohd Fazrin Azli bin Jaimat\nRanau \u2013 Demi memartabatkan bahasa kebangsaan dan kesusasteraan Melayu sekali gus menyebarkan ilmu dalam kalangan masyarakat, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) telah mengadakan satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat di seluruh Sabah, iaitu Program Wakaf Buku.\nProgram Wakaf Buku lazimnya dilaksanakan di sekolah, institusi pengajian tinggi, Perpustakaan Desa dan kampung yang terpilih. Bersempena dengan Festival Seni dan Alam yang diadakan di Kundasang, Sabah, DBPCS mengambil peluang untuk mengadakan wakaf buku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Timbua, Ranau, pada 4 Oktober 2022, pukul 2.30 petang.\n\u201cMembaca jambatan ilmu. Lantaran itu, DBPCS berusaha menyebarkan ilmu dalam kalangan masyarakat khususnya para pelajar,\u201d demikian ucapan Pengarah DBPCS, Puan Aminah Awang Basar, semasa upacara penyerahan buku kepada Pengetua SMK Timbua, iaitu Encik Marcus Shapie.\nTurut hadir bersama-sama Pengarah DBPCS ialah Timbalan Pengarah I, DBPCS, Encik Rusdi Awang. Sebanyak 150 orang pelajar SMK Timbua, Ranau hadir bersama-sama menyaksikan penyerahan buku tersebut." "2400 Pelajar Baharu Jalani Minggu Destini Siswa di UiTM Cawangan Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Sebanyak 2400 pelajar baharu telah mengakhiri sesi Minggu Destini Siswa (MDS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis untuk sesi Oktober 2022 semalam di di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis. Menerusi MDS, para pelajar diberi pendedahan tentang pelbagai perkara berkaitan dengan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta kemudahan dan persekitaran universiti untuk memudahkan pelajar baharu menempuh alam baharu di kampus tersebut.\nSimbolik akhir untuk MDS ialah sesi Amanat Rektor dan Perasmian Penutup MDS Sesi Oktober 2022. Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi telah hadir menyampaikan ucapan dan merasmikan Majlis Penutup Minggu Destini Siswa Sesi Oktober 20022 tersebut.\nDalam ucapan beliau, Rektor UiTM Cawangan Perlis\u00a0mengucapkan tahniah kepada semua pelajar baharu yang berjaya melanjutkan pelajaran ke UiTM Cawangan Perlis.\nProf. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, Rektor UiTM Cawangan Perlis juga\u00a0 menyampaikan beberapa amanat kepada para pelajar dalam majlis tersebut. Antara perkara yang diberikan penekanan adalah mengenai adab. Para pelajar dinasihatkan untuk menjaga adab terutamanya terhadap pensyarah bagi mendapat keberkatan dalam menuntut ilmu. Beliau juga berpesan agar para pelajar sentiasa menjaga imej dan nama baik universiti.\nRektor UiTM Cawangan Perlis juga mengharapkan semua pelajar menggunakan peluang yang diberikan dengan sebaik-baiknya dan memberikan fokus kepada pelajaran agar mereka dapat menamatkan pengajian dengan jayanya mengikut tempoh yang ditetapkan.\nDalam majlis tersebut, para pelajar dilatih untuk mengendalikan majlis dan mengetengahkan bakat mereka. Misalnya melalui bacaan doa oleh pelajar, ucapan Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar, alunan bacaan ayat suci al-Quran oleh pelajar MDS dan bacaan ikrar oleh 2400 orang pelajar MDS.\nMenerusi majlis tersebut, nyanyian lagu UiTM turut berkumandang dan dinyanyikan beramai-ramai oleh warga UiTM termasuklah pelajar MDS sebagai tanda semangat dan cinta akan kampus mereka.\nTurut hadir di majlis tersebut ialah Ts. Gs. Dr. Ernieza Suhana Mokhtar Othman, Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat, Alumni dan Keusahawanan, dan Encik Fahizan Hamid, Timbalan Ketua Pustakawan serta beberapa Ketua Unit dan staf Bahagian Hal Ehwal Pelajar." "Belanjawan 2023: Pendidikan Pelaburan Terbaik Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBajet 2023: Keluarga Malaysia, Makmur Bersama, merupakan tema Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan, pada Jumaat, 7 Oktober 2022. Belanjawan 2023 dipandu oleh 3R, yang bermaksud Responsif, Bertanggungjawab dan Reformis. \nMenurut Tengku Zafrul, tumpuan tersebut membuktikan bahawa sebagai Keluarga Malaysia, kita perlu segera bertindak untuk mendepani setiap cabaran global yang mendatang dan pada masa yang sama bertanggungjawab untuk membina masa hadapan yang cerah buat anak- anak generasi legasi. Maka itu, untuk menuju ke arah Malaysia yang lebih baik, Belanjawan 2023 akan dipacu elemen 3R. \n\u201cBelanjawan 2023 akan segera responsif kepada sebarang cabaran dan menyedia bantuan yang komprehensif kepada Keluarga Malaysia, bukan sekadar kumpulan B40 tetapi juga M40, wanita, belia, orang kurang upaya (OKU) dan semua segmen masyarakat,\u201d ucap Tengku Zafrul, semasa membentangkan Belanjawan 2023, di Dewan Rakyat. \nBelanjawan 2023 menurutnya, adalah bertanggungjawab untuk mengimbangi dasar fiskal yang mengembang dengan melaksanakan pembaharuan fiskal ke arah kemampanan kewangan kerajaan untuk tempoh jangka masa panjang. Belanjawan 2023 juga katanya adalah bertanggungjawab untuk membina daya tahan negara bagi mendepani sebarang krisis yang mendatang. Maka itu, Belanjawan 2023 ialah reformis yang mengambil peluang merubah landskap pembangunan negara agar lebih inklusif dan mampan di samping membina industri negara yang kukuh melalui pelaburan strategik.\n\u201cBelanjawan ini tidaklah dirangka untuk golongan tertentu sahaja, tetapi kesemua buah fikir yang dikumpul, telah diteliti dan diadun menjadi satu \u2013 iaitu sebuah Belanjawan 2023 hasil daripada ilham Keluarga Malaysia. Oleh sebab itu, lebih daripada 100 inisiatif rakyat akan direalisasikan sebagai sebahagian daripada usaha holistik yang terkandung dalam naskhah besar ini. Terima kasih diucapkan kepada semua yang menzahirkan segala idea dan pandangan. Dengan tekad: \u2018Keluarga Malaysia: Makmur Bersama\u2019 dan seiring dengan agenda Belanjawan 2023 yang responsif, bertanggungjawab dan reformis, belanjawan ini akan memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan dapat dicapai,\u201d ucap Tengku Zafrul. \nYang lebih menarik perhatian, seperti belanjawan sebelumnya. Belanjawan 2023 sekali lagi menyaksikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjadi kementerian yang menerima peruntukan yang tertinggi dalam belanjawan negara. \n\nMenurut Tengku Zafrul, pendidikan ialah pelaburan yang terbaik bagi membina masa hadapan negara yang cerah. Maka itu, menerusi Belanjawan 2023, KPM menerima peruntukan terbesar, iaitu sebanyak 55.6 bilion berbanding dengan 52.6 bilion ringgit pada tahun 2022. Daripada peruntukan besar itu, kerajaan pada tahun hadapan bukan sahaja akan terus mengekalkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP), tetapi tutut meningkatkan jumlah BAP.\n\n\u201cBAP selama ini telah meringankan beban ibu bapa berpendapatan RM3000 ke bawah untuk menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak. Bermula pada tahun ini, kadar BAP telah dinaikkan kepada RM150 berbanding dengan RM100. Bagi tahun 2023, sukacita diumumkan bahawa BAP akan diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapanya. Sebagai contoh, jika sebuah keluarga mempunyai tiga orang anak yang bersekolah, maka mereka layak menerima BAP sebanyak 450 ringgit. Bantuan ini akan disalurkan pada Januari 2023 dan diharapkan dapat meringankan beban ibu bapa yang menyara anak-anak bersekolah. Peruntukan yang disediakan untuk BAP adalah sebanyak RM825 juta, iaitu jauh melebihi peruntukan pada tahun ini, iaitu RM450 juta,\u201d ucap Tengku Zafrul. \nBAP ialah bantuan sekali beri yang mula diperkenalkan pada tahun 2012 bertujuan untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan anak-anak yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga terutamanya pada setiap awal tahun (pembukaan sesi persekolahan). Bantuan ini diberikan kepada murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau yang setaraf dengannya dari kalangan keluarga yang berpendapatan Isi Rumah Kasar RM3000 dan ke bawah. Walau bagaimanapun, selaras dengan pengumuman Belanjawan 2023, pemilihan atau kriteria kelayalan penerima BAP telah dihapuskan. Hal ini bermaksud, semua murid layak menerima BAP pada tahun hadapan. \nSelain BAP, kerajaan turut membawa khabar gembira kepada penerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT).\u00a0 Menurut Tengku Zafrul, RMT yang telah dilaksanakan sejak tahun 1979 adalah bertujuan untuk memastikan murid daripada keluarga susah mendapat khasiat makanan yang diperlukan.\n\n\u201cSeperti yang saya umumkan semasa Belanjawan 2022, kerajaan telah menambah baik RMT dengan menyediakan bekalan susu pada setiap hari persekolahan anak-anak. Maka itu, bagi terus menambah baik program ini, kerajaan akan menaikkan kadar makanan bermasak RMT daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk Semenanjung dan RM3.00 kepada RM4.00 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan. Kenaikan kadar ini akan berkuat kuasa pada bulan ini juga,\u201d ujar Tengku Zafrul. \nDalam pembentangan Belanjawan 2023 itu, Tengku Zafrul menjelaskan bahawa sejumlah RM777 juta disediakan untuk program RMT, iaitu peningkatan signifikan berbanding dengan RM280 juta\u00a0 pada tahun 2020, jumlah tesebut menurutnya adalah berdasarkan peluasan penerima dan kenaikan kadar dan penyediaan bekalan susu pada setiap hari. Dengan itu, lebih daripada 800 ribu orang murid serta 7300 pengusaha makanan dan pembekal susu tempatan akan menerima manfaat daripada penambahbaikan ini.\nSelain itu, Belanjawan 2023 juga menyaksikan pada tahun hadapan, sejumlah RM2.3 bilion diperuntukkan untuk menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif dan selamat buat murid sekolah. Jumlah ini merupakan peningkatan yang amat ketara berbanding dengan peruntukan RM1.7 bilion pada tahun ini.\n\n\u201cDaripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.1 bilion disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaaan Cina\u00a0 dan Tamil serta sekolah agama,\u201d ucap Tengku Zafrul. \nSejumlah RM1.2 bilion pula disediakan untuk menaik taraf infrastruktur sekolah daif terutamanya bagi menggantikan bangunan kayu lama untuk keselesaan khususnya anak-anak di Sabah dan Sarawak dengan melibatkan sebanyak 123 projek di Sabah dan 182 projek di Sarawak.\n\n\u201cBagi memenuhi keperluan penduduk setempat, kerajaan pada tahun 2023 akan mula membina sebanyak lima buah sekolah baharu dengan kos sebanyak RM430 juta melibatkan SMK Nabalu Sabah; SMK Dudong Sarawak; SK Paya Dusun Terengganu; SK Cyberjaya 2; dan SMK Denai Alam Selangor,\u201d ucap Tengku Zafrul. \nMenyambut baik pengumuman Belanjawan 2023 yang menyaksikan KPM terus menerima peruntukan terbesar negara, Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk Dr. Radzi Jidin menjelaskan bahawa peruntukan sebanyak RM1.1 bilion untuk kerja selenggara dan membaik pulih sekolah bawah KPM merupakan peningkatan yang amat signifikan, iaitu tambahan sebanyak RM250 juta berbanding dengan peruntukan keseluruhan pada tahun 2022, iaitu sebanyak RM850 juta. \n\u201cDengan peruntukan ini, KPM akan dapat menyediakan persekitaraan sekolah yang kondusif untuk seluruh warga sekolah,\u201d ujar Datuk Dr. Radzi. \nTambahnya lagi, sewaktu beliau mula menjejakkan kaki di KPM, beliau bertekad agar isu bangunan daif sekolah di seluruh negara, khususnya di Sabah dan Sarawak akan dapat ditangani dengan cekap dan menyeluruh. Ujarnya, pendidikan sememangnya amat dekat dengan jiwa beliau. Apabila beliau diberikan amanah untuk menerajui KPM, tumpuannya adalah untuk menambahbaik struktur dalam ekosistem pendidikan bagi melonjakkan kualiti pendidikan negara. Perubahan demi perubahan dilaksanakan bagi memastikan anak-anak generasi pewaris negara mendapat pendidikan yang terbaik. \n\u201cDalam Belanjawan 2023, KPM menerima peruntukan terbesar, iaitu sebanyak RM55.6 bilion. Peningkatan sebanyak RM3 bilion berbanding dengan yang diterima pada tahun ini, iaitu sebanyak RM52.6 bilion. Setiap sen daripada peruntukan yang diterima akan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk generasi pewaris negara,\u201d ucap Datuk Dr. Radzi, menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam akaun media sosialnya." "Kuiz Bahasa Festival Seni\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKundasang\u00a0\u2013 Program Kuiz Bahasa Bersempena dengan Festival Seni dan Alam (FESA), anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah telah dilaksanakan pada 5 dan 6 Oktober 2022 di Kundasang, Sabah. Program ini bertujuan untuk memupuk semangat cinta akan bahasa Melayu dan menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang berkualiti dalam kalangan pelajar sekolah melalui permainan bahasa seperti Sahibba Cap, Teka Peribahasa, Pintar Jawi dan Langkah Ria.\nPada 5 Oktober 2022, sebanyak 26 orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Irsyadiah, Sekolah Menengah Kebangsaan Ranau, Sekolah Menengah Kebangsaan Mat Salleh, Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Sugut, Sekolah Menengah Kebangsaan Timbua dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bundu Tuhan telah menyertai Permainan Langkah Ria yang menguji kefahaman pelajar mengenai penggunaan bahasa Melayu yang betul, peribahasa, perumpamaan, pantun, dan pengetahuan am.\nSekolah Rendah Kebangsaan Kauluan, Sekolah Rendah Kebangsaan Don Bosco, Sekolah Rendah Kebangsaan Mesilou, Sekolah Rendah Kebangsaan Kundasang dan Sekolah Rendah Kebangsaan Bundu Tuhan telah menghantar sebanyak 73 orang pelajar pada 5 hingga 6 Oktober 2022. Pada 5 Oktober 2022, sebanyak 50 orang pelajar menyertai permainan Langkah Ria dan pada 6 Oktober 2022, sebanyak 23 orang pelajar menyertai permainan Pantas Jawi dan Betulkan yang Biasa.\nMelalui beberapa permainan, pelajar secara tidak langsung dapat menambah ilmu pengetahuan dan menguji minda terutamanya dalam permainan melibatkan peribahasa, kata bidalan, perumpamaan, pantun dan ejaan Jawi. Maklum balas positif diterima daripada guru-guru pengiring. Para guru mencadangkan program seperti ini diteruskan pada tahun hadapan.\nProgram yang berlangsung selama dua hari ini, dikendalikan oleh Puan Norhafiza Ibrahim, Ketua, Pusat Dokumentasi Melayu dan dibantu oleh Puan Erani Abdullah." "FESA 2022: Pertandingan Reka Cipta Bahan Terbuang Mencungkil Kreativiti Pelajar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKundasang \u2013\u00a0Seramai 14 kumpulan telah menyertai Pertandingan Reka Cipta Bahan Terbuang bersempena dengan Festival Seni dan Alam (FESA), yang telah diadakan pada 5 Oktober 2022, pukul 9.30 pagi di Pentas Budaya, Pekan Kundasang merupakan program yang julung-julung kali diadakan. Pertandingan ini ialah anjuran bersama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dengan Pejabat Daerah Ranau, Majlis Daerah Ranau dan Pejabat Pendidikan Daerah Ranau.\nPertandingan ini adalah antara pengisian program FESA yang diwakili oleh dua orang pelajar yang melibatkan sekolah menengah di sekitar daerah Ranau dan Kundasang.\nAntara objektif pelaksanaan pertandingan ini adalah untuk menyemarakkan sambutan Hari Alam Sekitar Negara dan kemuncak kepada Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2022 Peringkat Negeri Sabah melalui kegiatan kesenian. Selain itu, mendekatkan dan menjalin sinergi antara DBP dengan khalayak umum dan agensi kerajaan yang terlibat serta mencungkil kreativiti pelajar melalui reka cipta bahan terbuang.\nSekolah Menengah Kebangsaan Kamburogoh yang diwakili oleh Harves Esquuro Elip dan Jordan Nellder dengan hasil reka cipta EFC (Easy Functional Cleaner) dinobatkan sebagai johan Pertandingan Reka Cipta Bahan Terbuang. Johan menerima hadiah wang sebanyak RM800 dan sijil penghargaan. Reka cipta bahan terbuang yang diberikan nama M-Box dari Sekolah Menengah Kebangsaan Mat Salleh diwakili oleh Haneem Syahirah dan Solineka Jasirin sebagai naib johan dengan menerima hadiah wang sebanyak RM600 dan sijil penghargaan.\nSementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Kamburogoh sekali lagi mendapat tempat ketiga dengan hasil reka cipta Multifunctional Rack yang dihasilkan oleh Ninelvin Ronnie dan Reeve Lioyd Robert. Tempat ketiga membawa pulang wang RM400 dan sijil penghargaan, manakala tiga hadiah sagu hati menerima hadiah wang RM200 bagi setiap kumpulan dan sijil penghargaan ialah kumpulan Sekolah Menengah Kebangsaan Lohan, Sekolah Menengah Kebangsaan Ranau dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kundasang.\nMajlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh YB Datuk Amisah Yassin, Ahli Dewan Undangan Negeri (Dilantik). Turut hadir semasa majlis penutupan ialah Puan Aminah Awang Basar, Pengarah, DBP Cawangan Sabah, Datuk Jasni Matlani, Ahli Lembaga Pengelola DBP merangkap Presiden, BAHASA, Encik Jumain Abdul Ghani, Pegawai Daerah Ranau, Encik Jamius Agang, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Ranau wakil kepada Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, pada 7 Oktober 2022 (Jumaat), pukul 9.00 pagi di Pentas Budaya, Pekan Kundasang.\nDiharapkan penganjuran pertandingan seumpama ini dapat menyemarakkan semangat cintakan alam sekitar dan bahasa kebangsaan dalam kalangan peserta dan masyarakat secara keseluruhannya di samping meraikan sambutan Hari Alam Sekitar Negara dan kemuncak DBK 2022 Peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan." "Pertandingan Gubahan Alam Memeriahkan FESA 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKundasang \u2013 Seramai 13 kumpulansekitar Kundasang dan Ranau yang telah menyertai Pertandingan Gubahan Alam bersempena dengan Festival Seni dan Alam (FESA), yang telah diadakan pada 5 Oktober 2022, pukul 2.30 petang, di Pentas Budaya, Pekan Kundasang merupakan program yang julung-julung kali diadakan. Pertandingan ini ialah anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dengan Pejabat Daerah Ranau, Majlis Daerah Ranau dan Walai Tokou Homestay, Kundasang. Pertandingan ini adalah antara pengisian program FESA yang diwakili oleh dua orang peserta yang melibatkan orang awam, penjajah sayur-sayuran dan buah-buahan\u00a0 di sekitar daerah Ranau dan Kundasang. Setiap kumpulan akan membawa sayur-sayuran dan buah-buahan sendiri untuk digubah semasa pertandingan berlangsung. Antara objektif pelaksanaan pertandingan ini termasuklah untuk menyemarakkan sambutan Hari Alam Sekitar Negara dan kemuncak kepada Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2022 Peringkat Negeri Sabahmelalui kegiatan kesenian.Selain itu, mendekatkan dan menjalin sinergi antara DBP dengan khalayak umum dan agensi swasta yang terlibat.\nSesuci Kasih-Nyahasil gubahan Rasininah Sulimat dan Haslinda Rasnindinobatkan sebagai Johan Pertandingan Gubahan Alam.Johan menerima hadiah wang sebanyak RM800.00 dan siijil penghargaan. Gubahan yang diberikana nama Bahasa Cintanya Seutuh Gunung Kinabalu, Semekar Alam di Bumi Kundasang mendapat tempat kedua oleh kumpulan Imitasi Gubahan Alam yang diwakili oleh Norhaidah Manaf dan Norhayati Boon yangmenerima hadiah wang sebanyak RM600.00 dan sijil penghargaan. Manakala, kumpulan Mamandak dengan gubahan yang diberikan nama Warna-warni Alam(Colour of Nature) mendapat tempat ketiga, diwakili oleh Norlizaini Lausin dan Robini Lambigit. Tempat ketiga akan membawa pulang wang RM400.00 dan sijil penghargaan. Tiga sagu hati yang menerima hadiah wang RM200.00 setiap kumpulan dan sijil penghargaan ialahkumpulan Sweet Mom, Marwati dan Simfoni Alam.\nMajlis penyampaian hadiah disempurnakan olehYang Berhomrat Datuk Amisah Yassin, Ahli Dewan Undangan Negeri (Dilantik). Turut hadir semasa majlis penutupan ialah Puan Aminah Awang Basar, Pengarah, DBP Cawangan Sabah, Datuk Jasni Matlani, Ahli Lembaga Pengelola DBP, merangkap Presiden, BAHASA, Encik Jumain Abdul Ghani, Pegawai Daerah Ranau, Encik Jamius Agang, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Ranau wakil kepada Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, pada 7 Oktober 2022 (Jumaat), pukul 9.00 pagi di Pentas Budaya, Pekan Kundasang.\nDiharapkan penganjuran pertandingan seumpamaini dapat menyemarakkan semangatcintakan alam sekitar dan bahasa kebangsaan dalam kalangan peserta dan masyarakat secara keseluruhannya di samping meraikansambutan Hari Alam Sekitar Negara dan kemuncak DBK 2022 Peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan." "FESA 2022: Kemuncak Dekad Bahasa Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKundasang \u2013 Festival Seni dan Alam (FESA) merupakan program yang julung-julung kali diadakan dengan kerjasama sektor swasta, sepertisyarikat Desa Dairy Farm, WalaiTokou Homestay Kundasang, Instant Exhibitions (Sabah) Sdn. Bhd., Kumpulan BTC, Iris Publishing & Distributors dan Pertubuhan Komuniti Penderma Darah Malaysia dengan kerjasama daripada agensi kerajaan iaitu, Pejabat Daerah Ranau, Majlis Daerah Ranau, Pejabat Pendidikan Daerah Ranau dan Pejabat Penerangan Daerah Ranau. Festival ini dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Alam Sekitar Negara dan Dekad Bahasa Kebangsaan yang disambut pada bulan Oktober setiap tahun.Festival ini bermula pada 5 hingga 7 Oktober 2022, di beberapa lokasi, iaitu SMK Mat Salleh, SMK Timbua dan Pentas Budaya, Pekan Kundasang dengan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat. Antara pengisian festival ini ialah Wakaf Buku DBP di Sekolah Menengah Kebangsaan Timbua, Bersahabat dengan Kamus di Sekolah Menengah Kebangsaan Mat Salleh kategori sekolah menengah, Kuiz Bahasa di Pentas Budaya Pekan Kundasang yang melibatkan sekolah rendah dan menengah di sekitar daerah Ranau dan Kundasang.\nSelain itu, turut diadakan ialah Pertandingan Melukis dan Mewarna, Pertandingan Reka Cipta Bahan Terbuang, Pertandingan Gubahan Alam, Pertandingan Cabaran Fotografi Berpantun dan Sayembara Deklamasi Puisi Alam. Dengan tema \u201cAlam Dilestasi, Seni Dijiwai\u201d sambutan FESA yang buat julung-julung kalinya diadakan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat di sekitar daerah Ranau dan Kundasang. Festival ini dimeriahkan lagi cabutan bertuah setiap hari yang disumbangkan oleh Desa Dairy Farm, Instant Exhibitions (Sabah) Sdn. Bhd., dan Iris Publishing & Distributors. Hadiah buah tangan 300 bungkus roti disumbangkan oleh Kumpulan BTC. Manakala, Walai Tokou Homestay menaja penginapan kepada enam orang peserta Sayembara Deklamasi Puisi Alam (peringkat akhir) selama dua malam. Dua buah khemah turut disumbangkan oleh Desa Dairy Farm sepanjang festival berlangsung. Turut memeriahkan acara festival ialah kempen derma darah, pameran dan jualan buku terbitan DBP.\nObjektif penganjuran FESA adalah untuk memupuk semangat cinta bahasa kebangsaan dan alam sekitar melalui beberapa pengisian program dan menjalin sinergi antara DBP dengan khalayak umum dan agensi swasta yang lain. Festival yang bersifat santun, berinformasi, harmoni dan menghiburkan ini dapat mendekatkan masyarakat terutamanya golongan muda dengan DBP. Selain itu, pelaksanaan program yang melibatkan kerjasama pelbagai pihak ini dapat memperluas rangkaian kerjasama DBP untuk mengembangkan bahasa dan persuratan di Sabah.\nMajlis penutupan FESA dan penyampaian hadiah pada 7 Oktober 2022 (Jumaat), pukul 9.00 pagi di Pentas Budaya, Pekan Kundasangdisempurnakan olehYang Berhomrat Datuk Amisah Yassin, Ahli Dewan Undangan Negeri (Dilantik). Turut hadir semasa majlis penutupan ialah Puan Aminah Awang Basar, Pengarah, DBP Cawangan Sabah, Datuk Jasni Matlani, Ahli Lembaga Pengelola DBP, merangkap Presiden, BAHASA, Encik Jumain Abdul Ghani, Pegawai Daerah Ranau, Encik Jamius Agang, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Ranau wakil kepada Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Encik Kohadie Watman, Penyelaras WalaiTokou Homestay Kundasangmerangkap Timbalan Presiden Homestay Malaysia.Encik Farid Mohd. Zaini, Pengurus Desa Dairy Farm Cawangan Kundasang.Encik Sathiq Am Jailani, wakil Pengurus Besar Kumpulan BTC.\nMemetik ucapan perasmian Yang Berhormat Datuk, \u201cfestival seumpama ini dapat memberikan semangat dan suntikan baharu kepada pelajaruntuk memulihara alam sekitar sekali gus memupuk kesedaran untuk melestarikan bahasa kebangsaan yakni bahasa perpaduan di Malaysia. Jika diteroka melalui sudut harfiah alam dan bahasa ialah tunjang dalam kehidupan manusia. Kedua-duanya saling berpaut antara satu sama lain. Misalnya, manusia sudah menduduki muka bumi berjuta tahun dahulu, dek revolusi yang berlaku telah mengubah alam semula jadi menjadi panas, cuaca tidak menentu sekali gus mengundang pelbagai bencana alam.Manakala, daripada sudut bahasa pula, manusia juga telah mengalami revolusi bahasa, iaitu bermula daripada bahasa isyarat sehinggalah ke bahasa dan persuratan yang dapat kita tuturkan pada hari ini. Oleh itu, festival seumpama ini sewajarkan diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha untuk memulihara alam sekitar dan memartabatkan bahasa kebangsaan\u201d.\nTuntasnya, kegiatan seumpama ini jugasebagai wadah untuk menyemarakkan rasa cinta akan bahasa, sastera dan budaya kebangsaandan sekali gus memupuk kesedaran untuk memulihara alam sekitar daripada tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab. Ingatlah bahawa bumi ini ialah pinjaman kepada anak cucu pada masa hadapan. Oleh yang demikian, jika dibiarkan nafsu menguasai diri dan wang ringgit menjadi taruhan, maka peribahasa ada mengingatkan \u201chulu malang pangkal celaka\u201d." "Parlimen Dibubarkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 YAB Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).\nPengumuman khas itu disiarkan secara langsung menerusi beberapa televisyen tempatan pada pukul 3.00 petang ini, selepas Perdana Menteri memperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.\n\u201cDengan ini dimaklumkan, bahawa tengah hari semalam, saya telah menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyembah warkah permintaan kepada baginda mengenai pembubaran Parlimen Ke-14. Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bertindak menurut budi bicara baginda dengan memperkenankan permintaan saya, supaya Parlimen ke-14 dibubarkan pada hari ini, Isnin, 10 Oktober 2022. Saya mengesyorkan Ketua-ketua Kerajaan Negeri kecuali Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya, bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang sama dengan PRU Peringkat Parlimen, meskipun beberapa buah negeri sudah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing. Ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos,\u201c katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.\nSusulan pembubaran Parlimen itu, SPR perlu menetapkan tarikh PRU ke-15. Menerusi Perkara 55 (4), Perlembagaan Persekutuan menetapkan PRU mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Parlimen." "Kata dan Makna dalam Pantun Melayu Menyerlahkan Keintelektualan Warisan Bangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDua tiga kucing berlari,\nMana nak sama si kucing belang;\nDua tiga boleh kucari,\nMana nak sama tuan seorang.\n\u00a0\nPantun tradisi ini yang secara spontannya bermain di fikiran ketika tiap kali diminta untuk berpantun ataupun ingin mengusik seseorang. Pantun empat rangkap ini bukan sahaja terkenal di Malaysia malahan sangat popular di Singapura dan Indonesia. Pembayang yang diketengahkan dengan siratan makna adalah tentang kegagahan dan keberanian yang terletak pada simbol perkataan \u201ckucing belang\u201d, iaitu seekor harimau yang digelar sebagai raja di rimba. Gambaran watak dan perwatakan ideal tersebut menyebabkan banyak gadis yang ingin berdampingi namun hanya gadis yang bertuah sahaja akan dipilih menjadi suri dan bertakhta di hati sang perwira.\nPertautan yang menarik antara pembayang dengan\u00a0maksud dan pemilihan kata yang berpadanan dengan suasana menjadikan pantun sangat digemari serta menjadi pilihan untuk dibaca dalam sesuatu majlis. Majlis peminangan dan perkahwinan semakin meriah dengan acara berbalas\u00a0pantun daripada kedua-dua\u00a0belah pihak.\nPada tahun 2020, satu sejarah lagi tercipta buat negara apabila komponen puisi tradisional ini telah diiktiraf sebagai warisan kebudayaan tidak ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Paris, Perancis. Di Indonesia,\u00a0sambutan pengiktirafan tersebut diraikan pada 27 Disember 2020 menerusi majlis Kenduri Virtual:\u00a0Pantun\u00a0Menjadi Warisan Dunia.\nAda apakah\u00a0dengan pantun? Pantun yang mempunyai rima terikat yang menimbulkan kesan bunyi berentak dan kaya dengan mesej pengajaran kelihatannya tidak tercemar dengan pertembungan budaya globalisasi yang begitu rancak berlaku di Malaysia. Pantun seakan-akan\u00a0amanah yang perlu dipelihara oleh bangsa Malaysia untuk terus mengekalkan bentuk keasliannya.\nTambahan lagi, cara lantunannya yang bersahaja tetapi berkias menyebabkan pendengar tidak mudah terasa hati dan terbuka menerima sindiran atau teguran tersebut. Teguran beralas tetapi menimbulkan kesan di hati yang menyebabkan pencipta pantun bertanggungjawab memastikan bahawa perkataan yang dipilih tidak akan mendatangkan aib atau mengguris perasaan orang lain. Perkara inilah menjadi antara kekuatan pantun yang mudah terpahat di hati sesiapa\u00a0pun.\nKalau kain sudah bersih,\nJangan biarkan diinjak-injak;\nKalau pemimpin sudah dipilih,\nJangan biarkan berlagak-lagak.\n(Khazanah Pantun Melayu Riau, DBP, 2007)\n\u00a0\nSimbol artistik kepada masyarakat Melayu ini menyerlahkan keintelektualan dengan ungkapan frasa, hasil daripada pengalaman dan pemerhatian terhadap alam sekeliling serta diadunkan dengan rasa emosi agar dapat menjanakan\u00a0makna yang tepat. Misalnya, frasa \u201cPisang emas di bawa belayar\u201d\u00a0sangat sinonim dalam budaya pelayaran. Khasiat pisang emas dipercayai dapat dijadikan penawar mabuk laut dan menjadi pengalas perut dalam perjalanan yang jauh kerana mengandungi kandungan serat yang tinggi.\nSementara \u201cSirih pinang sudah kuterima, Tanda jadi kita berdua\u201d (Kurik Kundi Merah Saga, 2002) pula cenderung pada adat peminangan. Leksikal gabungan perkataan ini \u00a0menggambarkan sifat kedua-dua tumbuhan ini. Sirih sifatnya menjalar dan memanjat tanpa merosakkan tumbuhan manakala pinang pula merupakan pokok yang tinggi dan mempunyai buah yang lebat. Apabila cantuman sifat ini dijadikan asas maka dapat ditafsirkan bahawa hubungan yang terjalin akan dipenuhi oleh kebahagiaan dengan masing-masing memelihara kehormatan, dan bertanggungjawab atas rumahtangga yang akan dibina. Satu kelebihan genre pantun ini ialah terbuka pada pelbagai tafsiran yang akan mencambahkan\u00a0pengetahuan tentang makna yang ingin disampaikan dan hal ini menunjukkan tingginya permainan bahasa \u00a0oleh pencipta pantun.\nDengan keunggulan ciri pantun itu sendiri, tidak mustahil terdapat banyak inisiatif yang dilakukan untuk melestarikannya. Penulis tertarik dengan segmen \u201cCakna Bahasa\u201d\u00a0tentang perkongsian pantun Melayu di Bernama Radio,\u00a0bersama dengan Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka\u00a0(DBP). Segmen ini adalah satu daripada usaha DBP untuk menarik pendengar daripada pelbagai lapisan bagi mendapatkan ilmu asas tentang warisan ini.\nInisiatif Bernama Radio wajar diteladani oleh stesen radio lain di Malaysia kerana saluran radio masih lagi menjadi pilihan pendengar apatah lagi pada waktu puncak. Oleh itu, segmen seperti ini wajar diteruskan dan yang paling kurang pun dua kali sebulan dengan menjemput ahli dalam bidang ini agar ilmu tersebut tidak hilang begitu sahaja. Selain itu, pertandingan seperti meneka dan menyambung pembayang atau maksud pantun yang diiringi dengan ganjaran hadiah untuk para pendengar setia juga perlu diadakan.\nSatu lagi usaha yang boleh dilakukan dan diharapkan ialah daripada\u00a0industri pelancongan. Saban tahun Malaysia didatangi oleh pelancong dari luar negara\u00a0dan begitu juga pelancong tempatan yang melancong di dalam negara dan industri ini menjadi semakin rancak di era endemik. Oleh\u00a0itu, kesempatan ini perlu digunakan oleh pihak bertanggungjawab untuk melestarikan\u00a0warisan tidak ketara ini dengan mensyaratkan setiap penerbangan yang dikendalikan oleh juruterbang supaya\u00a0membaca pantun selamat datang serta pihak yang mengurus hal ehwal penerbangan menyediakan bahan bacaan ringkas, memuatkan kandungan tentang pantun dan meletakkannya\u00a0di setiap poket hadapan kerusi penumpang. Selain itu, dalam hal ini juga pemandu bas atau van pelancong perlu turut serta memainkan peranan yang sama.\nHasil warisan keintelektualan ini ialah penanda aras bagi kemajuan ilmu masyarakat Malaysia dari zaman ke zaman. Oleh itu, hasil warisan ini\u00a0perlu diterjemahkan ke dalam bentuk yang lebih nyata dan bermanfaat. Misalnya, mewujudkan lorong warisan pantun Melayu dan menjadikannya\u00a0sebagai tempat perkumpulan Keluarga Malaysia. Lorong tersebut dihiasi dengan tulisan pantun pada bangunan dan dipenuhi dengan aktiviti berbalas pantun serta adanya program masyarakat seperti \u201cKreatif minda dengan penciptaan pantun\u201d. Situasi ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara masyarakat majmuk dan secara tidak langsung\u00a0dapat memperkasakan penggunaan bahasa Melayu ke tahap\u00a0yang\u00a0lebih tinggi.\nFalsafah dan pemikiran serta tingkah laku di sekeliling yang ditransisikan\u00a0ke dalam bentuk frasa dan ketelitian dalam pemilihan kata yang berestetika tinggi hingga menghasilkan berbaris-baris pantun dalam satu-satu\u00a0masa menyebabkan Wilkinson dan Winstedt (1957) mengakui bahawa pantun menyerlahkan akal budi orang Melayu. Dengan pelbagai projek penyelidikan, aktiviti pendokumentasian, penerbitan dan bengkel secara berterusan akan dapat memperluas\u00a0lagi\u00a0dapatan tentang pantun. Penulis\u00a0percaya bahawa banyak lagi pantun ciptaan terkini masyarakat yang dapat dikongsi\u00a0untuk membugarkan lagi khazanah negara ini.\nSelain menyertai sayembara berbalas pantun dan pertandingan mencipta pantun yang bukan sahaja di peringkat kebangsaan, terdapat\u00a0juga\u00a0peserta dari Malaysia yang mengikuti pertandingan pantun yang dianjurkan oleh negara jiran seperti Brunei dan Indonesia. Perkara ini\u00a0merupakan\u00a0suatu anjakan paradigma dan meneguhkan keyakinan kita untuk mengetengahkan warisan kita. Kita juga boleh berkolaborasi dengan negara jiran untuk menerbitkan\u00a0buku\u00a0pantun terkini untuk ditelaah dan menjadi dokumen sosial masyarakat di rantau ini. Oleh\u00a0itu, marilah kita\u00a0berganding bahu untuk mempertahankan warisan asli ini agar tidak luput ditelan zaman.\nApalah guna asam paya,\nKalau tidak menggulai ikan;\nApa guna lagak dan gaya,\nKalau bahasa tidak dihiraukan.\n(Harun Mat Piah, Puisi Melayu Tradisional: Nasihat dan Pengajaran, 2004)\n\u00a0\n\u00a0\nProfesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad \u2212 Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia." "\u201cKarnival Peluang Kerjaya\u201c Tawar Pelbagai Peluang Melanjutkan Pelajaran dan Prospek Kerjaya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Sebanyak 240 peluang melanjutkan pelajaran serta pembelajaran dalam bidang latihan dan kemahiran serta peluang pekerjaan membabitkan tujuh kolaborasi ditawarkan pada \u201cKarnival Peluang Kerjaya\u201d yang diadakan pada 9 Oktober 2022 di Tapak Milik Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berhadapan dengan \u201cKangar, Perlis 0 KM\u201d di tengah-tengah bandar Kangar.\nKarnival tersebut dianjurkan oleh Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) Sdn. Bhd. dengan kerjasama pihak FMG Food Sdn. Bhd. (ASPUTRA Ikan Bakar dan Cuemi Sotong Goreng), TWI Technology (S.E. Asia) Sdn. Bhd., Kulim Advanced Technologies Sdn. Bhd. (KHTP Techno), Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara, McDonald\u2019s, Malaysia Professional Accountancy Centre (MYPAC),Kedah Industrial Skills and Management Development Centre (KISMEC), Kolej Vokasional Arau dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).\nRaja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan meluangkan masa melawat reruai dan pameran yang diadakan. Baginda diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj. Mohd Nazim Mohd Noor.\nAntara aktiviti yang diadakan ialah kaunseling kerjaya, sesi temu duga dan penerangan mengenai tajaan MAIPs. Permohonan peluang kerjaya ini masih dibuka sehingga semua kuota yang disediakan dihabiskan pada tahun 2022 ini.\nUntuk maklumat lanjut mengenai peluang bidang latihan dan kemahiran serta peluang pekerjaan yang ada, rakyat negeri Perlis disarankan untuk melayari Facebook Akademi Transformasi Asnaf MAIPs Sdn Bhd atau boleh menghubungi talian 012-5834439 untuk keterangan lanjut." "Keberangkatan Raja Muda Perlis Simbolik Penerimaan Warga Baharu dalam \u201cKeluarga UniMAP\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putera \u2013 \u201cSehingga pukul 4.00 petang semalam, sebanyak 1231 orang telah pun mendaftar daripada 1921 orang mahasiswa baharu yang ditawarkan tempat di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Sebanyak 675 lagi merupakan pelajar dari Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK) yang akan mengikuti pengajian secara dalam talian untuk Semester 1 ini. Pengambilan pelajar kali kedua dijadualkan akan dilaksanakan pada 30 Oktober 2022 bagi mengisi kira-kira 1000 tempat lagi.\u201d\nDemikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Simbolik Penerimaan Mahasiswa Baharu Sidang Akademik 2022/2023 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Dewan Ilmu, Kampus Alamnya di Pauh Putera, malam semalam.\nBerangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor.\nKeberangkatan tiba baginda berdua ke program yang dianjurkan oleh pihak universiti melalui Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar (P3P), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta Pembantu Pelajar Minggu Suaikenal (PPMS) itu disambut oleh Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli serta kepimpinan tertinggi universiti.\nDalam titah baginda, Tuanku Raja Muda mahukan mahasiswa peringkat ijazah supaya sentiasa bersedia bagi melengkapkan diri sepanjang tempoh berada di universiti selama tiga atau empat tahun untuk mendalami ilmu dalam pelbagai bidang, membudayakan inovasi dan kreativiti, bersikap proaktif serta menghindar daripada melibatkan diri dengan perkara-perkara yang tidak elok. Titah baginda:\nTanggungjawab sebagai seorang mahasiswa merupakan amanah yang perlu ditunaikan. Mahasiswa yang berfikiran matang, berjiwa kental dan berpandangan jauh mampu menyempurnakan tanggungjawab seterusnya menjadi pemimpin pelapis negara pada masa akan datang.\nTuanku Syed Faizuddin Putra turut menitahkan ucapan tahniah kepada semua pelajar baharu kerana berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Sudah tentu, kejayaan menempatkan diri ke menara gading merupakan sesuatu yang membanggakan dan pastinya menjadi harapan keluarga masing-masing.\nPada kesempatan yang sama, Tuanku Raja Muda mengingatkan para mahasiswa baharu UniMAP bahawa keberangkatan baginda berdua sebagai Canselor dan Pro-Canselor pada setiap kali pendaftaran baharu mahasiswa ke universiti ini sejak sekian lamanya itu merupakan \u201csimbolik\u201d penerimaan warga baharu dalam \u201cKeluarga UniMAP\u201d sebelum diserahkan kembali kepada ibu bapa dan waris pada Istiadat Konvokesyen kelak.\nSelain program kemuncak berupa Upacara Simbolik Penerimaan Pelajar Baharu dengan Tuanku Canselor dan Tuanku Pro Canselor berkenan menyarungkan jaket kepada empat orang wakil pelajar terpilih, turut diadakan ialah pertunjukan Hadrah oleh ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP, tayangan multimedia khas serta persembahan tarian dan nyanyian hasil gabungan mantap oleh mahasiswa lama dan baharu Universiti Awam yang ke-17 di negara ini yang telah diwujudkan sejak tahun 2001." "Selamat Bersara Pejuang Bahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Menempuh hari persaraan sememangnya saat yang akan ditempuhi oleh insan yang melalui tempoh perkhidmatan dalam pekerjaan tertentu. Sudah tentu dengan sekian banyak pengalaman dan pencapaian menjadi satu bingkisan yang amat bermakna bagi individu yang berjaya ke tahap ini.\nDewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menghargai kesetiaan dan kesungguhan karyawannya yang telah bertugas dengan cemerlangnya sehingga tiba hari persaraan mereka. Seluruh warga kerja DBP merakamkan penghargaan kepada Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBhg. Dr. Abang Patdeli Abang Muhi dalam Majlis Sanjungan Budi Lambaian Kasih yang berakhir pada 12 Oktober 2022, bertempat di Balai Seminar, Wisma DBP, pagi tadi. Majlis ini turut meraikan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), YBrs. Haji Abdul Halim Harun yang akan tamat pada 26 Oktober 2022.\nKetua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran berkata, kedua-dua karyawan cemerlang DBP ini sewajarnya dijadikan contoh ikutan kepada karyawan, terutamanya dalam kalangan golongan muda, agar legasi kecemerlangan DBP dapat diteruskan dengan jayanya pada masa akan datang.\nMenyingkap sejarah 36 tahun berkhidmat di DBP sebagai Penolong Perancang Bahasa di Cawangan Sarawak, YBhg. Dr. Abang Patdeli terus memacu bakat dan kesungguhannya untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dan pernah menyandang jawatan Penolong Perancang Bahasa (1990\u20131996); Perancang Bahasa S41 (1996\u20132008); Perancang Bahasa S44 (2008\u20132011); Timbalan Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah (2011\u20132014); Pengarah DBP Wilayah Tengah (2014\u20132016); Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan (2016); Ketua Akademi DBP (2017); Ketua Bahagian Buku Umum (2018); Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera (2019); Pengarah Jabatan Penerbitan (2019\u20132020); Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera (2020\u20132021) dan yang terakhir sebagai Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera (2020\u20132021).\nDalam majlis tersebut, YBhg. Dr. Abang Patdeli\u00a0berpesan, meniti perjalanan melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan, bukanlah sesuatu yang mudah. Setiap orang\u00a0mempunyai potensi yang berbeza walaupun mempunyai ruang dan peluang yang sama. Meskipun tahap perjawatan ketika berakhirnya perkhidmatan\u00a0rendah atau tinggi, setiap daripada kita telah melakukan yang terbaik kepada organisasi.\nKita perlu sentiasa komited dan berusaha untuk meningkatkan keyakinan diri, malah bersedia untuk menempuh apa-apapun cabaran sepanjang bekerja. Tiada masa untuk menoleh ke belakang dan sentiasalah mencari peluang untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran diri.\nDemikianlah pesanan yang sempat dititipkan kepada semua warga kerja DBP.\n\nSelamat bersara!" "Pertandingan Buku Skrap Cungkil Daya Kreativiti Murid SJKC\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu \u2013 Bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan Tahun 2022, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah telah menganjurkan Pertandingan Buku Skrap. Program ini yang diadakan dari 22 Jun 2022 hingga 16 Ogos 2022 merupakan anjuran kali ketiga sejak mula dilaksanakan pada tahun 2020.\nPertandingan ini bertujuan untuk memupuk budaya membaca dan mencintai ilmu melalui pembacaan bagi melahirkan masyarakat yang berpengetahuan, berilmu dan bermaklumat di samping meningkatkan kreativiti murid berdasarkan pemerhatian mereka terhadap alam sekeliling. Pertandingan Buku Skrap pada kali ini membawakan tema \u201cHaiwan Kesayangan Saya\u201d.\nSebanyak 33 penyertaan diterima daripada pelajar tahap dua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina [SJK(C)] dari sekitar Zon Kota Kinabalu. Tempat pertama dimenangi oleh Rex Ng Kar Hen dari SK(C) Anglo Chinese, Kota Kinabalu. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500 dan sijil penyertaan. Naib johan pula disandang oleh Chang Cheng Chun dari SJK(C) Yick Nam, Inanam yang menerima hadiah wang tunai bernilai RM300 dan sijil penyertaan.\u00a0 Manakala Muhammad Kely dari SJK(C) Lok Yuk, Menggatal muncul sebagai pemenang tempat ketiga. Beliau menerima hadiah wang bernilai RM200 dan sijil penyertaan.\nPenerima hadiah sagu hati pula dimenangi oleh Hazel Lou Yan Ling dari SJK(C) St James, Kota Kinabalu; Chan Ka Hyun dari SK(C) Anglo Chinese, Kota Kinabalu dan Kim Yea Eun dari SJK(C) Lok Yuk, Likas. Masing-masing membawa pulang wang bernilai RM100 dan sijil penyertaan. Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBPCS." "Mengiktiraf Peranan Guru dalam Usaha Kemenjadian Murid\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPepatah lama berbunyi, \u201cguru ibarat lilin yang membakar diri menerangi orang lain\u201d sentiasa segar dalam ingatan sebagaimana 19 tahun yang lalu, iaitu pada saat penulis berinteraksi dengan murid\u00a0 semasa membimbing mereka. Guru akan tersenyum riang tatkala mendengar anak murid mengungkapkan ucapan \u201cterima kasih, cikgu\u201d. Pada setiap tahun, tanggal 16 Mei menjadi hari yang meraikan para pendidik yang bergelar cikgu. Hal ini memerlukan usaha berterusan dalam mengangkat dan mengiktiraf peranan guru khasnya dalam usaha kemenjadian murid.\nPenulis telah dijemput untuk menghadiri satu program yang dinamakan sebagai \u201cLeaps of Knowledge: Recreation\u201d, yang telah berlangsung pada 8 Oktober 2022 di Hotel JW Marriott, Kuala Lumpur. Program Leaps of Knowledge ini dianjurkan oleh FrogAsia bersama dengan rakan strategik Teach for Malaysia, pemimpin GSL dan ditaja oleh Yayasan YTL. Program ini membawa tema \u201cRecreation\u201d, iaitu satu hasrat untuk mencipta semula dari aspek yang membawa pembaharuan yang lebih berkesan dalam komunikasi untuk belajar bersama-sama dan membayangkan usaha yang boleh membawa pendidikan ke arah yang lebih baik.\nSemasa program tersebut, jelas menampakkan wajah guru yang ceria dan gembira bersama-sama yang berkumpul dalam program itu. Para peserta program juga telah terlibat dalam sesi perkongsian amalan terbaik dalam proses pengajaran dan pembelajaran daripada 10 orang peserta akhir dalam kalangan guru yang menyertai pertandingan \u201cMalaysia Teacher Prize\u201d. Tahniah dan syabas kepada Cikgu Anuthra Sirisena, guru dari SMJK Chung Hwa, Tenom, Sabah yang dinobatkan sebagai pemenang pada tahun 2022.\nDalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025\u00a0 yang digariskan oleh Kementerian pendidikan Malaysia (KPM) telah menetapkan Anjakan k-4 untuk memartabatkan profesion keguruan. Anjakan ini sangat penting untuk diberikan perhatian kerana banyak orang yang memilih kerjaya sebagai guru bukan disebabkan oleh minat semata-mata, tetapi sekadar untuk mendapatkan pekerjaan, paksaan ibu bapa, pilihan terakhir dan pelbagai lagi alasan negatif.\nTanpa minat dan komitmen, maka lahirlah murid yang lemah dan tidak berkualiti. Hal ini juga berkaitan rapat dengan elemen kecemerlangan dan keberhasilan murid yang sangat bergantung pada kualiti dan komitmen guru.\nPenekanan terhadap kualiti dan komitmen guru pula sangat dipengaruhi oleh pengaruh budaya organisasi sekolah. Perkara inilah yang perlu dilihat secara teliti dan bersepadu oleh seluruh warga pendidik sama ada pada peringkat KPM, Jabatan Pendidikan Negeri, dan Pejabat Pendidikan Daerah mahupun sekolah.\nDengan penjelasan di atas menunjukkan bahawa perlu adanya pendekatan untuk memastikan kualiti guru sentiasa berada pada tahap yang terbaik semasa pengajaran dan pembelajaran. Dari aspek ini, elemen menghargai dan mengiktiraf peranan guru dalam kemenjadian murid menjadi pemangkin utama.\nMenurut Maslow (1954), apabila sesuatu keinginan dan keperluan seseorang itu dipenuhi, maka hal ini akan memberikan kepuasan kepada individu\u00a0 yang berkenaan. Namun begitu, hal yang sebaliknya akan berlaku sekiranya keperluan dan keinginan tersebut tidak dipenuhi.\nMenurut Herzberg (1959) pula, kepuasan kerja seseorang individu ditentukan oleh faktor dalaman yang dipanggil pendorong seperti mendapatkan pengiktirafan dan kerja itu sendiri dan juga faktor luaran seperti hubungan personal.\nKerajaan sememangnya prihatin terhadap para guru dan sentiasa\u00a0 mengiktiraf golongan pendidik. Sebelum ini,\u00a0 Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, membuat pengumuman semasa Majlis Perhimpunan Khas dengan seluruh warga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) iaitu yang Pertama: Guru Besar Gred DG48 (Khas untuk Penyandang) tidak diturunkan sebagai Guru Penolong Kanan atau Guru Biasa di Sekolah Rendah apabila dinaikkan pangkat ke Gred DG52 dan DG54 secara time based berasaskan kecemerlangan (TTBK) dan Gred Guru Besar dan Guru Penolong Kanan di sekolah rendah ditingkatkan sehingga ke gred maksimum DG54.\nSelain itu, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG48, diberi peluang untuk dilantik sebagai Guru Penolong di Sekolah Rendah. Justeru, Guru Penolong Kanan di sekolah rendah tidak hanya terhad kepada Gred DG44 sahaja. Sementara itu,\u00a0 laluan kerjaya Guru Cemerlang di sekolah rendah diperluas sehingga Gred DG52 dan DG54. Hal ini demikian kerana 90.68 peratus guru sekolah rendah telah pun berada di Gred Siswazah.\nPengiktirafan ini jelas menunjukkan bahawa pihak kerajaan serta seluruh Keluarga Malaysia amat memahami dan menghargai jasa serta semangat juang tinggi guru-guru demi melahirkan insan-insan yang berjaya dalam pelbagai aspek kehidupan.\nDemi meneruskan hasrat murni untuk menghargai, meraikan dan menaikkan nama guru di Malaysia, program \u201cMalaysia Teacher Prize\u201d menjadi satu platform terbaik sebagai satu model kesepaduan, iaitu \u201cQuadruple and quintuple innovation helix framework\u201d yang menekankan kerjasama pihak institusi pendidikan, industri, kerajaan dan komuniti.\nUsaha ini amat dialu-alukan dengan pelibatan pelbagai pihak yang turut serta memberikan nilai tambah dalam mentransformasikan pendidikan negara. Kepada guru yang berjaya terpilih\u00a0 perlu menjadikannya satu pendorong untuk terus membawa pembaharuan dalam usaha mendidik murid.\nPengarah Pemimpin GSL, Samuel Isaiah menjelaskan bahawa \u201cSekiranya kita dapat mencari lebih banyak individu seperti ini, kita dapat meningkatkan lagi kualiti dalam bidang perguruan dan pendidikan di negara ini secara amnya\u201c. Usaha untuk membuat perubahan ini bukannya melibatkan kerja secara individu sahaja, namun perlu digabungjalinkan dengan semua pihak yang berkepentingan dalam memacu perubahan landskap pendidikan negara. Ibarat pepatah Melayu, \u201ckuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanah\u201d. Marilah kita sama-sama merealisasikan gagasan utama untuk anak-anak murid Keluarga Malaysia berteraskan pendidikan untuk semua.\nPenulis, mantan Penganalisis Kanan, Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan, KPM." "Keputusan SPMU Diumumkan pada 20 Oktober\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada hari ini memaklumkan bahawa keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) Tahun 2022 akan diumumkan pada Khamis, 20 Oktober 2022.\nMenurut KPM, calon boleh membuat semakan keputusan peperiksaan SPMU\ntahun 2022 melalui kaedah berikut.\n\nKPM sentiasa komited untuk terus melaksanakan yang terbaik." "Jenayah terhadap Kanak-kanak: Apakah Peranan Kita?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSejak belakangan ini, banyak kisah menakutkan tular di media sosial berhubung dengan kes penculikan kanak-kanak. Sejauh manakah kes penculikan itu benar-benar berlaku sememangnya sukar dipastikan. Hal ini dikatakan demikian kerana ada juga segelintir pihak yang cuba menularkan berita palsu dengan menyebarkan kenyataan media lama pihak berkuasa atau sengaja mewujudkan ketakutan dalam kalangan masyarakat.\nApa-apa pun alasannya, hal ini bukanlah bermaksud tidak ada kes culik di negara ini. Pada April lalu, Bukit Aman mengumumkan sebanyak 1509 orang kanak-kanak dan remaja dilaporkan hilang di negara ini sejak tahun 2020. Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Abd Jalil Hassan, daripada jumlah itu sebanyak 1424 orang ditemukan semula, manakala 85 orang lagi masih hilang. Katanya, kebanyakan kes kanak-kanak yang dilaporkan hilang tidak semuanya ditemukan dengan selamat. Hal ini dikatakan demikian kerana ada kes yang dilaporkan memerlukan kertas siasatan dibuka selain ada juga kes yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Sebagai contohnya, ada kes hanya menemukan jasad mangsa selepas mereka terlibat dalam kemalangan, seperti lemas selepas terjatuh di dalam longkang atau sungai ketika bermain. Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata kanak-kanak perempuan direkodkan sebagai mangsa hilang tertinggi, iaitu melibatkan 1113 orang, manakala 396 orang ialah kanak-kanak lelaki.\n\u201cKes kehilangan paling tinggi membabitkan kanak-kanak berusia 13 tahun hingga 17 tahun, iaitu sebanyak 1330 orang diikuti dengan lapan tahun hingga 12 tahun (138 orang) dan setahun hingga tujuh tahun (41 orang). Alasan dan punca yang sering dikaitkan dengan kehilangan mereka adalah disebabkan lari dari rumah kerana terpengaruh dengan rakan sebaya dan ingin hidup bebas daripada keluarga,\u201d ujarnya seperti dilaporkan oleh Utusan Malaysia.\nMenurutnya lagi, kes tertinggi direkodkan pada tahun 2020, iaitu sebanyak 817 orang kanak-kanak dilaporkan hilang, namun sebanyak 803 orang mangsa berjaya ditemukan dan 14 orang lagi masih hilang. Pada tahun 2021 pula, direkodkan sebanyak 569 kes kehilangan kanak-kanak, daripada jumlah itu sebanyak 531 orang mangsa ditemukan, manakala 38 orang lagi masih hilang. Pada tahun 2022, sebanyak 123 kes lagi direkodkan pada dua bulan pertama tahun ini yang mana sebanyak 90 orang kanak-kanak berkenaan ditemukan semula, manakala sebanyak 33 orang lagi masih dilaporkan hilang.\nTidak dinafikan bahawa apabila berlaku kes kehilangan kanak-kanak, ibu bapa dan keluarga pastinya akan terjejas dari pelbagai aspek. Bukan itu sahaja, seluruh komuniti juga akan terkesan. Di luar negara, menurut statistik The Federal Bureau of Investigation (FBI), terdapat sebanyak 29 758 rekod orang hilang aktif melibatkan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang dilaporkan pada akhir tahun lalu. Hal ini merupakan angka yang amat menakutkan. Bayangkan anak anda keluar bermain dan tidak kembali buat selama-lamanya.\u00a0\nKes orang hilang tidak mengenal mangsa dan tempat. Di mana- mana sahaja kes kanak-kanak hilang boleh berlaku. Mungkin kita menganggap sesuatu tempat itu paling selamat untuk mereka, walhal keadaannya adalah sebaliknya. Sudah tentu kita tidak dapat menjangka atau meramal sebarang bentuk jenayah, walau bagaimanapun, sebagai ibu bapa atau penjaga, mencegah anak hilang atau menjadi mangsa penculikan daripada berlaku merupakan tanggungjawab utama kita. Berikut panduan yang boleh diajarkan kepada kanak-kanak untuk mengelak daripada sebarang bentuk jenayah:\nMengajar kanak-kanak tentang keselamatan siber, termasuk keselamatan menggunakan telefon pintar mungkin memainkan peranan yang lebih besar dalam mencegah penculikan daripada pendekatan tradisional dengan memberikan amaran kepada mereka tentang bahayanya mendampingi atau didampingi orang asing. Ajar anak-anak dan seluruh ahli keluarga untuk menjauhkan diri daripada orang yang tidak dikenali khususnya menerusi laman media sosial.\nTidak dinafikan kanak-kanak pada hari ini gemar berkongsi kehidupan dan pemikiran mereka secara dalam talian, dan orang asing yang berbahaya itu mungkin tidak mendekati mereka di jalan atau di pusat beli-belah tetapi mereka terancam apabila penjenayah \u201cmemasuki\u201d kehidupan kanak-kanak semasa mereka sedang leka mengakses media sosial. Mereka mungkin tidak menyedari bahawa penjenayah siber kini berselindung di balik dunia maya. Oleh itu, ajar mereka tentang kepentingan keselamatan asas media sosial dan jangan lupa bahawa perkongsian berlebihan boleh mendatangkan keburukan kepada mereka.\nSeperti yang dilaporkan oleh FBI, majoriti kanak-kanak pada hari ini hilang bukan disebabkan mereka dibawa keluar dari jalan atau keluar dari tempat awam. Kebanyakan mereka yang hilang disebabkan terpikat dengan pemangsa secara dalam talian dan kemudiannya secara sukarela berlakulah pertukaran e-mel atau nombor telefon. Dalam hal ini, pastikan anak anda belajar untuk tidak mempercayai sesiapa atau apa-apa sahaja yang mereka temukan secara dalam talian. Tiada sebab mengapa anda tidak perlu menyemak peranti mudah alih atau desktop anak anda untuk melihat sendiri perkara yang mungkin berlaku.\nPeraturan semak dahulu hendaklah sentiasa menjadi sebahagian daripada gelembung keselamatan kanak-kanak. Tidak kira sama ada mereka mengenali orang itu, anak-anak harus sentiasa mengelak daripada sebarang undangan atau godaan orang yang tidak dikenali. Mereka perlu diingatkan untuk menyemak dahulu dengan ibu bapa atau penjaga mereka tentang sesuatu undangan yang mereka terima. Tidak kira sama ada undangan itu datang daripada individu yang dikenali atau orang yang tidak dikenali \u2013 peraturan nombor satu dalam hidup ialah mereka hendaklah menyemak terlebih dahulu. Hal ini bermakna, sentiasa bercakap dengan ibu bapa sebelum membuat sebarang keputusan, tidak kira bagaimana dan di mana undangan dibuat.\nJangan biarkan diri anda terganggu apabila anda keluar membeli-belah dengan anak-anak anda. Kanak-kanak kecil boleh berlari dengan mudah dan hilang di balik rak pakaian dan paparan lorong kedai. Anda juga harus berusaha untuk sentiasa menyedari sesiapa sahaja yang mungkin kelihatan mengambil berat terhadap anak-anak anda. Kanak-kanak juga wajib diajar sejak kecil untuk mengingati maklumat penting mereka sekiranya mereka tersesat atau terpisah dengan ibu bapa mereka. Mereka sepatutnya boleh menyebut nama penuh, alamat dan nombor telefon ibu bapa mereka.\n4. \u00a0Cara Bertindak Balas terhadap Cubaan Penculikan\nApabila kelihatan seperti seseorang cuba membawa anak anda ke suatu tempat secara paksa, kanak-kanak perlu tahu cara untuk bertindak balas. Ajar anak anda untuk menjerit ketika berhadapan dengan keadaan cemas. Dua perkataan yang perlu keluar daripada jeritan mereka ialah \u201ctolong!\u201d atau \u201cpanggil polis!\u201c Tidak salah dan merugikan untuk membekalkan anak dengan wisel untuk ditiup agar dapat menarik perhatian orang ramai ketika anak anda dalam keadaan cemas. Percayalah, jeritan dan bunyi wisel boleh membantu menakutkan sesiapa sahaja yang mungkin cuba menculik mereka.\nKanak-kanak harus diajar bagaimana untuk mengesan masalah. Satu perkara yang mereka harus tahu ialah apabila sesiapa sahaja yang bertanya kepada mereka sama ada mereka boleh \u201cmenyimpan rahsia,\u201c hal itu harus diklasifikasikan sebagai bendera merah. Apabila seseorang cuba membuat anak anda berdiam diri tentang sesuatu, dia harus melihatnya sebagai petanda yang jelas untuk memberitahu anda mengenainya. Berusahalah untuk meyakinkan anak anda bahawa berkongsi sesuatu rahsia dengan ibu bapa dan ahli keluarga merupakan kewajipan yang harus mereka lakukan.\nJika apa-apa berlaku kepada anak anda, seperti tersesat atau ada individu yang cuba memujuk mereka, mereka harus tahu cara untuk berhubung dengan orang dewasa yang boleh dipercayai. Di pasar raya atau pusat beli-belah misalnya, mereka harus mencari pekerja dengan tanda nama atau pengawal keselamatan. Di luar kawasan tersebut, misalnya di sekolah, mereka perlu mencari pengawal keselamatan, guru atau polis.\nBeritahu anak anda bahawa anda tidak akan marah sekiranya mereka memberitahu anda tentang keburukan atau kesalahan yang telah mereka lakukan. Jangan memalukan mereka jika mereka mengakui bahawa mereka telah bercakap dengan seseorang secara peribadi atau secara dalam talian yang sepatutnya mereka elakkan. Anda boleh membantu menghalang orang luar daripada mempengaruhi anak anda dengan memberitahu mereka bahawa anda sentiasa bersedia untuk mereka dan anda sentiasa bersedia untuk mendengar apa-apa yang ingin mereka luahkan.\u00a0\nSebagai kesimpulannya, ingatlah bahawa sebagai orang dewasa, kita mempunyai tanggungjawab yang besar untuk melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa culik. Dalam zaman tanpa sempadan yang mustahil untuk pisahkan anak-anak dengan dunia teknologi maklumat dan komunikasi, peranan ibu bapa dan penjaga kini semakin mencabar. Kes penculikan kanak-kanak bukan sahaja berlaku di negara ini, malah di seluruh negara dan hal tersebut perlu menjadi iktibar kepada semua pihak bahawa jenayah ini sememangnya wujud dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, waima anak kita sendiri!" "Meneroka Sejarah Pilihan Raya di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nPRU merupakan satu proses wajib bagi sesebuah negara yang menginginkan kerajaan sendiri, seperti yang dinyatakan oleh Ramlah Adam (2003) dalam bukunya yang bertajuk Sejarah Perkembangan Pilihan Raya Era Pra-Merdeka 1955 yang menjelaskan bahawa pilihan raya merupakan satu daripada asas berkerajaan sendiri dan mengisi kemerdekaan sesebuah negara. Ia adalah satu proses dan satu sistem yang membolehkan rakyat negara bangsa tersebut memilih pemimpin dan parti yang membentuk kerajaan. Pilihan raya merupakan merupakan satu daripada asas utama dalam pengamalan sistem demokrasi negara yang telah merdeka. Yakni segala keputusan dan ketentuan mandat untuk menerajui kepimpinan negara diberikan secara khas kepada rakyat selaku pengundi ketika proses pilihan raya dijalankan. Perkara ini selari dengan hak kebebasan memilih yang telah diberikan.\u00a0\nDi negara ini, pilihan raya secara asasnya dibahagikan kepada dua jenis, PRU dan Pilihan Raya Kecil (PRK). PRU terbahagi kepada dua peringkat, pertama PRU peringkat persekutuan dan kedua PRU peringkat negeri. Parti-parti politik yang memenangi pilihan raya dan memperoleh majoriti akan membentuk kerajaan. Selepas itu, kerajaan yang dibentuk akan terbubar atau dibubarkan sendiri selepas tamat tempoh lima tahun. Bagi PRK pula berlangsung sekiranya berlaku kematian, perletakan jawatan, hilang kelayakan dan pembatalan keputusan pilihan raya oleh Mahkamah Pilihanraya. Kemudian, untuk memastikan kelancaran dan ketelusan pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditubuhkan, iaitu pada 4 September 1957 mengikut Perlembagaan Persekutuan.\nPilihan raya bukanlah sesuatu yang asing lagi di negara ini, pelaksanaannya telah bermula seawal negara belum mencapai kemerdekaan. Pada fasa yang pertama, pilihan raya dilaksanakan di peringkat tempatan atas dasar tuntutan rakyat Tanah Melayu kepada British, yakni sebagai satu latihan persiapan bagi pengamalan sistem demokrasi berparlimen. Rentetan itu, terlaksananya beberapa pilihan raya awal, antaranya termasuklah pilihan raya pada Disember 1951, yang dilaksanakan pada peringkat tempatan bagi Majlis Bandaran Georgetown (Tanjung), Pulau Pinang dan kemudiannya dilaksanakan di beberapa buah bandar utama yang lain. Pada ketika itu juga telah lahir Parti Perikatan gabungan UMNO dan MCA, Parti Radikal Pulau Pinang, dan Parti Buruh Pulau Pinang. Pada tahun 1952 pula, Pilihan Raya\u00a0 Majlis Bandaran diadakan di beberapa buah lokasi lain seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Melaka dan Seremban. Kemenangan demi kemenangan yang dicapai oleh parti-parti politik tempatan memberikan mesej yang cukup jelas kepada British bahawa pemimpin sedia ada berjaya meraih sokongan penduduk dan boleh mentadbir Tanah Melayu. \u00a0Bertitik tolak daripada itulah, sinar kemerdekaan mula menyinari setiap inci Tanah Melayu. Penyataan ini disokong dengan pendapat yang ditulis oleh Sulastry Yurni Ahmad & Nidzam Sulaiman (2008) dalam satu artikel bertajuk Kedudukan Barisan Nasional Dalam Pilihan Raya Malaysia: Berakhirnya Era Hegemoni dan telah diterbitkan dalam Prosiding Seminar Politik Malaysia oleh Pusat Penerbitan Universiti (UPENA). Sulastry Yurni Ahmad dan Nidzam Sulaiman (2008) menyatakan bahawa; \u201cMandat rakyat Tanah Melayu untuk mentadbir negara sendiri masih tidak dapat dicapai sekiranya PRU tidak diadakan dengan mendapat keizinan daripada pihak British. Pada awalnya, atas desakan rakyat Tanah Melayu, Inggeris terpaksa memenuhi kehendak rakyat untuk mengadakan pilihan raya pada peringkat tempatan sebagai latihan bagi demokrasi berparlimen. Peringkat awal pilihan raya ini diperkenalkan pada peringkat tempatan bagi Majlis Bandaran yang pertama diadakan di Majlis Bandaran Georgetown (Tanjung), Pulau Pinang pada bulan Disember 1951. Seterusnya diperkenalkan di beberapa buah bandar utama yang lain\u201d.\nSistem demokrasi semakin berkembang dan mekar di Tanah Melayu sekitar tahun 1955. Menerusi Perjanjian Tanah Melayu 1948, Majlis Perundangan Persekutuan yang ditubuhkan akhirnya dibubarkan bagi memberikan laluan dan ruang kepada kerajaan untuk mengadakan PRU buat pertama kalinya bagi memilih ahi-ahli untuk mewakili rakyat dalam Majlis Perundangan Persekutuan. Sebagai hasilnya, pada PRU yang berlangsung sekitar Julai 1955, Parti Gabungan UMNO, MCA dan MIC berjaya merangkul kemenangan besar dengan memenangi 51 daripada 52 buah kerusi yang dipertandingkan. Bahkan menurut Portal Rasmi Parlimen Malaysia, selepas kemenangan tersebut YTM Tunku Abdul Rahman Putra dilantik sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dan beliau membentuk Kabinet atau Jemaah Menteri Pertama Tanah Melayu. Peristiwa ini menjadi detik bersejarah dan berharga buat negara, hal ini dikatakan demikian kerana selepas kemenangan tersebut telah membawa YTM\u00a0 Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan (1956) ke London untuk menuntut kemerdekaan. Bahkan menurut \u00a0 Parlimen Malaysia, hasil rombongan tersebut terbentuknya satu Perlembagaan bagi Tanah Melayu (1957), sehingga YTM Tunku Abdul Rahman dilantik menjadi Perdana Menteri yang pertama dengan Jemaah Menteri sebanyak 12 orang sekali gus pada tahun tersebut Tanah Melayu mencapi kemerdekaan.\nKekeliruan mula berlaku dalam wacana perbahasan tentang sejarah pilihan raya, dan antara yang paling kerap dipersoalkan termasuklah bilakah tahun sebenar pilihan raya mula berlangsung di negara ini? Apakah tahun 1951 atau 1959? Untuk menjawab persoalan ini memerlukan sokongan fakta yang berautoriti. Pertama, pilihan raya bermula pada tahun 1951. Seperti yang dinyatakan sebelum ini akibat daripada desakan atau tuntutan daripada rakyat Tanah Melayu pada ketika itu, sistem pilihan raya telah diperkenalkan oleh pihak British, dan pada fasa permulaan pelaksanaannya hanya melibatkan peringkat Majlis Bandaran/Perbandaran. Walau bagaimanapun pilihan raya yang berlangsung pada ketika itu tidak menepati prinsip First Fast The Post (FPTP) seperti yang masih dikekalkan hingga ke hari ini. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Ahmad Kamal Arifin, Mohammad Khairul Anuwar & Aqilah Johar (2021) dalam artikel yang bertajuk Pilihan Raya Persekutuan Tanah Melayu 1948-1959, dan Pengenal Fast Past the Post dan pendapat Sulastry Yurni Ahmad & Nidzam Sulaiman (2008) dalam satu artikel bertajuk Kedudukan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Malaysia : Berakhirnya Era Hegemoni.\nPada awalnya, pilihan raya lebih kepada satu latihan atau pendedahan terhadap pengamalan sistem demokrasi kepada rakyat di Tanah Melayu. Pada tahun 1955, yakni menyaksikan kemenangan terbesar Parti Perikatan yang memenangi 51 daripada 52 buah kerusi yang dipertandingan. Kejayaan tersebut membawa kepada pertambahan Ahli Majlis Perundangan Persekutuan sebanyak 98 orang. Menurut Parlimen Malaysia, sebanyak 52 orang yang dipilih melalui PRU (menggantikan 50 orang ahli tidak rasmi), sebanyak 35 orang ahli yang dilantik mewakili kepentingan tertentu, dan sebanyak 11 orang terdiri daripadaa menteri besar dan wakil-wakil negeri.\u00a0\nPada tahun 1959, satu PRU diadakan dan pada ketika itu juga sistem Parlimen dua Dewan yang mengandungi institusi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Dewan Rakyat dan Dewan Negara dibentuk. Pembukaan Parlimen pertama oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong I, Tuanku Muhammad, di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang. Pada ketika itu juga berlangsungnya mesyuarat pertama, penggal pertama pada 11 September 1959. Bahkan, yang lebih menariknya lagi PRU tahun 1959 merupakan pilihan raya pertama yang dikendalikan oleh SPR Malaysia, dan melibatkan 104 buah kerusi di Dewan Rakyat dan 282 kerusi di Dewan Undangan Negeri.\u00a0 PRU tersebut merupakan kesinambungan pembubaran (Jun 1959) Majlis Perundangan Persekutuan yang menjalankan tanggungjawab sebagai Dewan parlimen. Hal ini membawa maksud, bahawa pelaksanaan sistem pilihan raya telah berlangsung seawal sebelum merdeka lagi. Namun begitu, jika perhitungan yang melibatkan pelibatan SPR dan Sistem Dewan Parlimen (Dewan Rakyat dan Dewan Negara), pastinya bermula pada tahun 1959. Kemudian diikuti dengan PRU pada tahun 1964, 1969, 1974, 1978, 1982, 1986, seterusnya dan hingga ke hari ini.\u00a0\nKelangsungan sistem pilihan raya yang dilaksanakan di negara ini, membuktikan bahawa kesuburan pengamalan Sistem Demokrasi Berparlimen di Malaysia. Rakyat sentiasa diberikan peluang dan mandat yang besar untuk menentukan pemimpin dan parti yang bakal menerajui kepimpinan negara. Walaupun, beberapa tahun lalu wujud ketidakstabilan politik sehingga mengundang pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali, namun situasi itu akan berjaya dikekang pada dekad ini dengan penguatkuasaan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti. Hal ni pastinya membawa dimensi baharu dalam sistem berpolitik di negara ini sekali gus memberikan nafas baharu kepada sistem politik negara dan kepercayaan rakyat (selaku pengundi) terhadap mandat dan amanah yang diberikan ketika proses pilihan raya. Bahkan undi 18 tahun yang dilaksanakan baru-baru ini juga bakal merancakkan lagi PRU-15 melalui pertambahan pengundi muda secara automatik. Oleh itu, dalam menjamin kesuburan landskap politik di negara ini, pastinya memerlukan kerjasama dan peranan semua pihak. Baik di sisi rakyat, blok pembangkang atau blok kerajaan. Tanggungjawab keluar mengundi perlu dilaksanakan, dan calon pemimpin yang memenangi pilihan raya perlu menunaikan segala perkara yang telah dijanjikan. Begitu juga mereka yang memenangi pilihan raya tetapi berada di\u00a0 blok pembangkang. Jadilah pembangkang yang prihatin dalam proses semak dan imbang untuk setiap pelaksanaan kerajaan. Pada akhirnya nanti, keberhasilan kerjasama dan peranan yang dimainkan oleh semua pihak bukan sahaja dapat mengekalkan kesuburkan demokrasi berparlimen malah berupaya mengekalkan identiti politik matang di negara ini dan secara tidak langsung akan terus memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia." "Raja Muda Perlis Berangkat Tinjau Kejadian Banjir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat bagi melaksanakan lawatan tinjauan ke beberapa buah lokasi terjejas banjir di negeri Perlis, petang semalam.\nBaginda selaku Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan bertanya khabar mangsa di samping meninjau lebih dekat kejadian yang berlaku.\nTurut mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Hj Mohd Noor dan Ketua Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Syed Aisam Syed Idris.\nSalah seorang mangsa, Noor Lela Aziz, 53, yang tinggal di Guar Sanji melahirkan rasa syukur apabila permasalahan beliau mendapat perhatian MAIPs.\nLebih mengejutkan beliau, Tuanku Raja Muda sendiri turut berkenan mencemar duli bagi melaksanakan lawatan tinjauan ke kediaman beliau yang runtuh di bahagian belakang ekoran daripada banjir kilat dan cuaca tidak menentu di Perlis pada malam sebelumnya.\n\u00a0\n\u00a0\nSehubungan dengan itu, Mohd Nazim memaklumkan bahawa pihak MAIPs sentiasa memantau keadaan mangsa dari semasa ke semasa serta melihat keperluan untuk mempertimbangkan bantuan di bawah Skim Agihan Bantuan Bencana bagi membantu meringankan beban mangsa.\n\u00a0\nTerdahulu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berangkat mengetuai Program Kayuhan Berbasikal MAIPs Peduli Bilangan ke-71 bagi tahun 2022 dengan menyampaikan agihan zakat MAIPs bernilai RM700 secara tunai, beras serta bekalan makanan mentah di tiga buah rumah keluarga asnaf terpilih, iaitu Hamzah Umar, 82, dari Kampung Sungai Berembang; Shareom Kasim, 61, dari Kampung Kurong Tengar dan Johari L Dahaman, 78, dari Jalan Sungai Berembang.\nSehari sebelumnya, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut meluangkan masa meninjau kawasan Titi Chai dan Kampung Sentua di Utan Aji yang telah dilanda banjir kilat." "Inisiatif Reading Progress: Meningkatkan Taraf Kualiti Pendidikan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Majlis Pelancaran Inisiatif Reading Progress telah berlangsung pada 18 Oktober 2022 (Selasa) pada pukul 10.0 pagi di Mardhiyyah Hotel & Suites, Seksyen 14, Shah Alam, Selangor.\nMajlis pelancaran ini dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan disempurnakan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Datuk Dr. Radzi Jidin.\nMenurut Datuk Dr. Radzi dalam ucapannya, mesej yang mahu disampaikan oleh KPM kepada masyarakat adalah berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran (PdP) mata pelajaran Bahasa Inggeris. Antara cabaran utama KPM ialah keperluan guru untuk melihat keupayaan setiap murid, mengambil kira jumlah murid di dalam kelas serta kekangan masa pelaksanaan mata pelajaran tersebut. Sehubungan dengan itu, perlu ada pendekatan yang lebih bersesuaian dalam konteks penggunaan teknologi semasa bagi mengoptimumkan PdP Bahasa Inggeris dalam kalangan murid.\n\u201cSaya melihat kepelbagaian dan kekayaan teknologi yang boleh kita ambil dalam pasaran bagi membolehkan PdP Bahasa Inggeris dipertingkatkan dalam memperkasakan pendidikan negara. Selain itu, Reading Progress juga merupakan program rintis yang diusahakan oleh KPM dan akan dilaksanakan di 576 buah sekolah di seluruh negara yang akan melibatkan 1188 orang guru pada sesi ini, dan seterusnya akan dikembangkan ke seluruh negara pada awal tahun depan,\u201d ujar Datuk Dr. Radzi.\nTambah beliau lagi, program rintis ini perlu bagi membolehkan KPM melihat sebarang keperluan untuk penambahbaikan proses pelaksanaan program ini. Jika terdapat sebarang kekurangan dan idea penambahbaikan, masyarakat boleh memaklumkannya kepada pihak KPM demi meningkatkan potensi murid-murid.\n\u201cMenerusi program Reading Progress ini juga, murid-murid boleh merekodkan pembacaan teks yang disediakan mengikut kemampuan masing-masing sama ada sebutan itu betul atau tidak, namun secara psikologinya, hal ini akan mendedahkan murid-murid kepada pelbagai perkataan dan struktur ayat yang baharu. Justeru, membentuk satu pandangan yang lebih jelas berkaitan keseluruhan ayat yang merangkumi sebutan dan pembacaan. Pada masa yang sama, hal ini memberikan peluang kepada murid-murid untuk meluaskan penguasaan jumlah perkataan dalam bahasa Inggeris,\u201d kata Datuk Dr. Radzi.\nDi samping itu, KPM juga menyasarkan untuk melaksanakan transformasi bagi mewujudkan kemudahan perkhidmatan rangkaian Internet di seluruh kawasan sekolah termasuklah di kantin, pusat sumber, asrama dan lain-lain bagi tujuan memudahkan proses PdP di sekolah serta membekalkan peranti dan penggantian peranti baharu menggantikan peranti lama di sekolah-sekolah di seluruh Malaysia.\n\nDatuk Dr. Radzi turut berkata, sukatan pelajaran (syllabus) pendidikan yang digunakan pada masa ini yang sering menerima pelbagai kritikan bukanlah baharu dicipta, sebaliknya telah lama dibentuk dan dilaksanakan sejak tahun 2017. Selain itu, sukatan pelajaran pendidikan yang digunakan oleh KPM pada masa ini bukanlah sukatan pelajaran pendidikan miliknya, sebaliknya telah melalui pelbagai proses penilaian dan penggubalan serta menerima banyak pandangan daripada para guru dan golongan pakar yang berkebolehan dalam bidang-bidang tertentu.\nUcap Datuk Dr. Radzi lagi, sukatan pelajaran pendidikan ini tidak boleh ditukar pada setiap tahun kerana akan menyukarkan semua peringkat operasi pelaksanaan terutamanya golongan guru dan murid untuk menyesuaikan diri dengan sukatan pelajaran baharu.\n\u201cPendekatan kita adalah setiap syllabus pendidikan akan dinilai semula selepas berakhirnya satu pusingan. Contohnya, murid darjah satu yang mula menggunakan syllabus pendidikan pada tahun 2017 akan berakhir satu pusingan apabila mereka berada pada darjah enam pada tahun ini. Justeru, syllabus untuk sekolah rendah berakhir pada tahun ini, manakala sekolah menengah sudah berakhir pada tahun lalu. Apabila selesai pusingan ini, KPM akan meneliti semula syllabus pendidikan tersebut. Hal ini sedang dalam proses pelaksanaan dan KPM menghargai pandangan guru dan ibu bapa berkaitan isu syllabus pendidikan ini,\u201c jelas Datuk Dr. Radzi lagi.\n\u201cPendidikan perlu dijauhkan daripada politik serta memerlukan keikhlasan dan kejujuran untuk melaksanakannya supaya mencapai tahap yang terbaik. KPM mahu melihat taraf pendidikan masyarakat kita menjadi lebih baik dan terus relevan untuk PdP semua murid di sekolah pada masa depan,\u201d kata Datuk Dr. Radzi mengakhiri bicara." "Sembilan Acara Pengajaran Gagne\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRobert Gagne (1916-2002) ialah ahli psikologi pendidikan yang mempelopori sains pengajaran pada tahun\u00a01940-an. Bukunya yang berjudul The conditions of Learning\u00a0diterbitkan pada tahun 1965. Robert Gagne mengemukakan cadangan tentang sembilan acara atau langkah pengajaran (nine events of instruction) sebagai kerangka untuk menyediakan dan menyampaikan kandungan pelajaran. Saranan Gagne dapat digunakan oleh para guru bersama-sama Taksonomi Bloom yang sudah dikemaskinikan untuk menghasilkan pembelajaran yang berkesan dan bermakna.\nSembilan acara pengajaran Gagne meliputi langkah-langkah yang berikut:\nGuru dapat mencuba pelbagai cara untuk merangsang minat murid agar mereka ingin terlibat secara aktif dalam pembelajaran, seperti yang berikut:\n\u00a0\nGuru memberitahu murid tentang objektif pelajaran atau hasil pembelajaran yang dijangkakan, seperti yang berikut:\n\u00a0\nGuru merangsang ingatan murid tentang pengetahuan yang sedia dikuasai oleh mereka, seperti yang berikut:\n\u00a0\nGuru menyampaikan isi kandungan secara sistematik dan bermakna dengan memberikan penjelasan dan tunjuk cara, seperti yang berikut:\n\u00a0\nGuru membimbing murid untuk memahami kandungan pelajaran, seperti yang berikut:\n\u00a0\nGuru melatih murid untuk mengaplikasikan kandungan pelajaran untuk meneguhkan kemahiran dan pengetahuan yang telah disampaikan, dan mengesahkan (confirm) \u00a0konsep dan pemahaman mereka, seperti yang berikut:\n\u00a0\nGuru memberikan maklum balas segera tentang prestasi murid untuk meningkatkan pembelajaran dan membetulkan kekurangan dari segi pemahaman mereka, seperti yang berikut:\n\u00a0\nGuru menilai sama ada objektif pembelajaran telah dicapai, seperti yang berikut:\n\u00a0\nGuru membantu mengingat ilmu baharu dengan mengaitkannya dengan situasi di dunia nyata, seperti yang berikut:\n\u00a0\nBerdasarkan kerangka sembilan acara pengajaran yang disediakan oleh Robert Gagne, kita dapat merancang dan melaksanakan satu sesi pengajaran aspek pemahaman dengan membuat perancangan secara teratur dan berkesan. Sila lihat contoh persediaan mengajar pada Jadual 1, dan rubrik pengajaran yang sudah dilengkap isi pada Jadual 2 dan Jadual 3.\nSebagai lanjutan kepada pelajaran pemahaman tentang permainan petanque dan boling padang, murid boleh juga dilatih untuk menjawab soalan KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) seperti berbincang tentang kelebihan petanque dan boling padang berbanding dengan permainan lain. Hal ini akan membuka dan menajamkan pemikiran murid. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n\u00a0\nSatu lagi soalan KBAT pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia\u00a0melibatkan hal membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Sebagai contoh, murid-murid boleh disuruh berbincang tentang cara-cara untuk mempopularkan petanque dan boling padang dalam kalangan masyarakat. Sila lihat cadangan jawapan yang berikut:\n\u00a0\nKini\u00a0pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah bersandarkan tema tertentu. Oleh itu, pelajaran pemahaman (kemahiran membaca) tentang petanque dan boling padang boleh juga dikaitkan dan digabungjalinkan dengan kemahiran mendengar, bertutur dan menulis. Selain itu, penyuntikan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), penerapan ilmu, tatabahasa, kosa kata, estetika bahasa dan nilai juga akan menjadikan pelajaran Bahasa Melayu lebih lengkap dan bermakna.\n\u00a0\nJadual 1: Persediaan Mengajar (Pemahaman)\na. \u00a0memahami teks pemahaman\nb. \u00a0membandingbezakan kandungan dua teks\nc. \u00a0menjawab soalan KBAT\n\u00a0\nb. \u00a0Murid berbincang secara berpasangan tentang ciri-ciri utama petanque\u00a0dengan boling padang.\nc. \u00a0Murid mengisi rubrik bersama-sama.\nd. \u00a0Guru mendekati setiap pasangan untuk membimbing murid melalui soal jawab.\nb. \u00a0Murid lain dan guru membetulkan kesalahan bahasa (jika ada).\nc. \u00a0Setiap pembetulan harus diwajarkan dengan rasionalnya.\nb. \u00a0Hasil kerja murid dinilai oleh murid lain dan guru.\nb. \u00a0Murid diminta untuk membandingbezakan segala aspek permainan badminton dengan permainan tenis dengan menggunakan rubrik yang direka oleh mereka sendiri sebagai kerja rumah.\nc. \u00a0Hasil kerja murid akan dibincangkan dan dinilai bersama-sama dalam kelas yang seterusnya.\n\u00a0\nJadual 2: \u00a0Ciri-ciri\u00a0Petanque dan Boling Padang\n2.\u00a0Perseorangan dan\u00a0berpasangan \u2013 3 biji boule\n3. Bertiga \u2013 2 biji boule\n2.\u00a0Perseorangan dan\u00a0berpasangan \u2013 4 biji bowl.\n3. Bertiga \u2013 3 biji bowl, berempat \u2013 2 biji bowl.\n2. \u00a0Sebiji jack\u00a0(bola kayu)\n3. \u00a0Pita pengukur\n4. \u00a0Tuala kecil\n2. \u00a0Sebiji jack\u00a0(bola kayu kecil yang berwarna putih atau kuning)\n3. \u00a0Pita pengukur\n4. \u00a0Tikar\n2. \u00a0Gelanggang bertanda \u2013 kawasan lapang (bertanah, berpasir atau berlumpur)\n3. \u00a0Gelanggang bertanda \u2013 gelanggang yang dibina khas\n2. \u00a0Green\u00a0dengan rumput asli atau rumput tiruan di kawasan luar, green\u00a0dengan karpet di dalam dewan.\n\u00a0\n2. \u00a0Pemain kedua-dua pasukan akan melontar boule\u00a0untuk mendekatkannya dengan jack.\n2. \u00a0Pemain yang menempatkan bowl\u00a0paling dekat dengan dengan jack\u00a0akan mendapat 1 mata.\n\u00a0\nJadual 3: \u00a0Rumusan Perbandingan antara Petanque dengan Boling Padang\nb. \u00a0Menggunakan jack.\nb. \u00a0Petanque menggunakan tuala kecil tetapi boling padang menggunakan tikar." "AADK Komited Meningkatkan Kepulihan Penagihan Dadah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuantan \u2013 Keberangkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan yang berkenan untuk menyempurnakan Program Keluarga Aspirasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan 2022 memperlihatkan sokongan baginda terhadap mereka yang berusaha untuk pulih daripada penagihan dadah.\nKementerian Dalam Negeri melalui Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sentiasa mempertingkatkan usaha untuk memerangi penyalahgunaan dadah sebagai musuh nombor satu negara. Selain membantu klien, AADK turut membantu ahli keluarga yang dibelenggu dengan masalah dadah.\nBerucap dalam program tersebut, Yang Berhormat Dato\u2019 Seri Hamzah Zainudin, Menteri Dalam Negeri mengatakan bahawa program ini merupakan satu daripada komponen yang terkandung dalam model rawatan dan pemulihan yang digunakan oleh AADK untuk merawat dan memulihkan dadah di seluruh negara.\nTambahan beliau lagi, AADK komited menganjurkan Program AADK Bersama Komuniti: Keluarga Aspirasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan 2022 yang bertujuan untuk menghimpunkan sebanyak 2000 orang sahabat kepulihan dari seluruh negara dalam kalangan pejuang kepulihan, ahli keluarga dan komuniti. Perhimpunan ini sebagai simbolik solidariti dalam usaha mengekalkan kepulihan sepanjang hayat.\nJelas Dato\u2019 Seri Hamzah Zainudin,\nSecara tidak langsung, program ini dapat memberikan pengiktirafan kepada keluarga yang sentiasa menyokong dan membantu klien ke arah pemulihan sepanjang hayat, khususnya yang melibatkan ahli keluarga masing-masing.\nSejajar dengan perubahan semasa yang memperlihatkan trend penyalahgunaan dadah daripada jenis organik kepada jenis sintetik, AADK telah mengubah pendekatan rawatan dan pemulihan penyalahgunaan dadah, iaitu daripada pendekatan tough and rugged kepada pendekatan yang lebih holistik dan prihatin. Pendekatan tersebut merangkumi aspek biologi, psikologi, sosial, spiritual seseorang klien dan keluarganya dikenali sebagai Model i \u2013 Pulih AADK.\nDalam hal ini, kajian menunjukkan bahawa sokongan keluarga memainkan peranan penting dalam proses merawat dan memulihkan penagihan dadah dan menghindari klien daripada kembali menagih atau relaps.\nMemetik ucapan Dato\u2019 Seri Hamzah Zainudin lagi, beliau mengatakan bahawa komponen sokongan keluarga yang lebih berstruktur telah diperkenalkan sejak tahun 2020 dan terbukti berkesan apabila tahap pengekalan kepulihan klien yang hanya 20 peratus pada tahun 2015 berjaya ditingkatkan kepada 71 peratus pada September 2022.\nInisiatif Kelompok Sokongan Kepulihan Keluarga (KSKK) merupakan instrumen sokongan yang menyediakan ruang dan peluang kepada ahli keluarga untuk berkongsi permasalahan dan mencari penyelesaiannya.\nDalam program ini juga, DYMM Pemangku Raja Pahang turut berkenan menyempurnakan pelancaran \u201cKelompok Sokongan Keluarga Kepulihan (KSKK) Peringkat Kebangsaan bersama-sama mentor kepulihan yang dilantik oleh AADK. Melalui sokongan daripada KSKK, AADK melihat usaha ini mampu mengurangkan stigma negatif terhadap isu penagihan dadah sekali gus bersama-sama kerajaan untuk membendung masalah penagihan dadah dalam negara.\nProgram ini memfokuskan sokongan masyarakat untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan secara sukarela sama ada mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) ataupun Program Rawatan dan Pemulihan dalam Institusi (RPDI) di bawah kelolaan AADK tanpa stigma negatif masyarakat.\nAADK percaya usaha ini mampu mewujudkan kesejahteraan psikologi, sosial dan kognitif seluruh Keluarga Malaysia. Program ini diharapkan mampu mengurangkan stigma terhadap isu penagihan dadah sekali gus mengiktiraf peranan keluarga sebagai elemen sokong bantu pemulihan klien sepanjang hayat. Penyertaan dalam program seperti ini secara tidak langsung memberikan isyarat positif bahawa klien berazam untuk berubah dan kembali menyumbang kepada masyarakat.\nProgram tersebut dimeriahkan dengan pameran oleh AADK. DYMM Pemangku Raja Pahang, YB Dato\u2019 Seri Hamzah Zainudin, YAB Menteri Besar Pahang, Dato\u2019 Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan tetamu kehormat yang lain turut meluangkan masa menyantuni pihak yang terlibat dengan pameran di reruai pameran masing-masing." "Program Bekas Penagih Bantu Pulihkan Penagih Capai Matlamat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuantan \u2013 Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Dalam Negeri mengadakan kempen besar-besaran dengan memberikan penerangan kepada orang ramai supaya sama-sama menyokong agensi itu terus mengekalkan kepulihan dalam penagihan dadah.\nMenerusi Program Keluarga Aspirasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan 2022, yang diadakan pada siang tadi, AADK membawa beberapa orang bekas penagih yang berjaya dipulihkan menerusi kaedah rawatan dan pemulihan yang dijalankan oleh agensi itu.\nPembimbing Rakan Sebaya AADK, Raja Mohd. Zulkifli Raja Said ketika ditemu bual oleh Sidang Editor Dewan Masyarakat\u00a0berkongsi pengalaman tentang kejayaannya mengendalikan program kepulihan kepada klien AADK. Beliau yang pernah berkhidmat dalam agensi tersebut pada tahun 2005 di Negeri Sembilan mengakui mengambil tanggungjawab yang berat dalam usaha membantu memulihkan kliennya.\nKatanya,\nAADK banyak membantu dan memberikan sokongan kepada saya untuk meneruskan khidmat sosial ini dengan menghantar saya mengikuti kursus pemulihan jati diri termasuklah melibatkan saya dalam kursus program neurolinguistik, iaitu kaedah ini banyak digunakan oleh pakar motivasi ternama untuk merawat klien.\nKejayaan cemerlang beliau yang banyak membantu memulihkan kliennya membawa dirinya pada tahap yang lebih tinggi. Menurutnya, AADK menyarankannya untuk melebarkan usahanya secara individu dan tidak terikat dengan agensi itu.\nApabila saya menyertai AADK, seolah-olah saya berada dalam zon selesa, namun demikian setelah bergerak sendiri, peluang melakukan khidmat sosial lebih terbentang luas. Dengan bantuan AADK, saya berjaya menubuhkan syarikat konsultan yang menyediakan kem motivasi dan latihan bina insan kepada pihak swasta dan jabatan kerajaan.\nGerakan kepulihan klien beliau kini tertumpu di Felda Keratong, Pahang bagi projek pembangunan ekonomi belia di komuniti tersebut. Beliau melihat kesan yang dibawa pada era pandemik COVID-19 dan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan suatu ketika dahulu, banyak belia yang kehilangan punca pendapatan atau hilang pekerjaan.\nBeliau mengakui dengan bantuan AADK, beliau berjaya mewujudkan peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi belia seperti memperkenalkan bidang penternakan haiwan, pertanian dan perniagaan.\nKatanya,\nSaya hanya bertindak sebagai pendorong kepada belia yang berminat untuk menceburi pelbagai bidang ekonomi yang disokong oleh AADK. Saya pernah melalui kehidupan yang \u2018sangat bermasalah\u2019 (ketagihan dadah) di kampung, jadi satu cara untuk menebus \u2018dosa\u2019 ini adalah dengan melakukan pembangunan ekonomi yang bermanfaat untuk komuniti belia setempat.\nSetiap minggu beliau akan menjadi konsultan AADK untuk membantu klien AADK dengan memberikan galakan kepada mereka untuk menceburi pelbagai bidang ekonomi di samping berusaha ke arah penetapan sasaran kepulihan daripada penagihan dadah.\nBeliau berharap setiap komuniti dan ahli masyarakat perlu mengambil tahu atau mengambil berat terhadap kelompok di persekitaran mereka. Misalnya, sebarang penyalahgunaan dadah yang berlaku di sekeliling mereka perlu dilaporkan segera kepada AADK. \u201cSekiranya semua orang mengambil berat terhadap permasalahan ini, sekurang-kurangnya gejala penagihan dadah dapat dibendung,\u201d katanya lagi.\nSeorang lagi bekas penagih dadah, Ee Hua Siew @ Andrew Ee, pelopor Pusat Pemulihan Dadah Persendirian Exodus Home Wanita berkongsi pengalaman pahitnya yang terpaksa menghabiskan masa remajanya dengan penagihan dadah sehingga beliau ditempatkan di pusat pemulihan dadah di Tampin selama setahun setengah.\nPengalaman yang pahit ini telah menyedarkan beliau untuk melakukan aktiviti sosial dengan membantu memulihkan klien AADK. Hasil inisiatif beliau bersama-sama isterinya, Puan Bertha Hutagalung dapat menubuhkan pusat jagaan dan perlindungan wanita untuk membantu warga emas, ibu tunggal, pesakit psikiatri, remaja bermasalah dan anak yatim piatu.\nAADK juga banyak membantu beliau menguruskan pusat pemulihan tersebut dengan jayanya, menjadi aktivis masyarakat yang aktif, dilantik sebagai ahli jawatan kuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan sering membantu pelajar yang bermasalah terutama daripada penagihan dadah.\nKatanya,\nSaya gembira dapat membantu pelajar menjadi anak yang baik, mahu kembali ke sekolah dan saya sentiasa bersedia berkhidmat bersama kaunselor di sekolah.\nBeliau mengakui masih banyak wanita di luar sana yang memerlukan bantuan. Oleh itu, beliau dan isterinya terpanggil untuk memberikan khidmat masyarakat yang memerlukannya.\nWalau bagaimanapun, beliau berharap supaya semua masyarakat sentiasa prihatin dan bersatu padu dapat mencapai misi dan visi AADK #Dadah Terkawal 2025. Bagi mereka yang sudah menagih, perlulah segera membuat rawatan supaya dapat dipulihkan." "Raja Muda Perlis Berkenan Menyempurnakan Perasmian Seminar Yayasan Tuanku Fauziah: Wanita dalam Pembangunan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mencemar duli berangkat bagi menyempurnakan perasmian Seminar Yayasan Tuanku Fauziah: Wanita dalam Pembangunan Negara yang bertempat di Sanggar Tun Sri Lanang, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada pagi ini. Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBhg. Datuk Shafiq Abdullah; Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja merangkap Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad; Pengerusi Kumpulan UMW yang juga merangkap Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Sri Hamad Kama Piah Che Othman; Pengerusi Primabumi Group, YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Haji M. Ariffin Yusuf; Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka, YB Datuk Muhammad Jailani Khamis; dan tetamu kehormat yang lain.\nDalam Majlis Perasmian Seminar Yayasan Tuanku Fauziah: Wanita dalam Pembangunan Negara itu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa pelibatan wanita dalam pembangunan negara amat penting serta tidak boleh diketepikan. Sumbangan wanita dari pelbagai aspek kehidupan seperti ekonomi, pendidikan, sosial dan politik di Malaysia serta di seluruh dunia begitu dominan.\nMenurut baginda, perubahan terhadap peranan ekonomi masa ini mempunyai kesan yang amat besar dan meluas terhadap kaum wanita yang terlibat dari segi peranan dan fungsi sosialnya. Hal ini disebabkan wanita kini semakin cekap dan berwibawa dalam memajukan ekonomi keluarga dan seterusnya menyumbang terhadap ekonomi masyarakat dan negara.\nTitah baginda lagi:\nJumlah wanita yang bekerja dalam sektor profesional khususnya dalam perkhidmatan awam mahupun swasta semakin bertambah, seiring dengan taraf pendidikan serta komitmen tinggi demi memajukan diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya negara.\nMengulas dengan lebih lanjut, baginda bertitah bahawa sistem pendidikan kini mengutamakan kesamarataan antara golongan wanita dengan lelaki. Hal ini sekali gus dapat melonjakkan daya persaingan yang positif demi kemajuan masyarakat dan negara.\n\u201cSaya menyarankan agar kaum wanita perlu bangkit dengan wajah baharu bagi meraih hak, kedudukan dan peluang sosial dalam pembangunan masyarakat dan negara. Perihal tanggungjawab sosial dalam pembangunan negara ini harus dipadankan dan diukur dari segi tahap kemampuan setiap golongan masyarakat, apatah lagi khusus kepada kaum wanita dalam semua peringkat umur,\u201d titah baginda lagi.\nRaja Muda Perlis yang juga merangkap Penasihat Yayasan Tuanku Fauziah menegaskan bahawa kaum wanita harus peka membuat keputusan yang selaras dengan kehendak komuniti berlandaskan perubahan minda dan gaya hidup masyarakat kini. Aliran semasa perkembangan dan kemajuan teknologi maklumat turut memerlukan golongan wanita sentiasa peka dalam konteks pembangunan sosial demi kemajuan negara.\nYayasan Tuanku Fauziah (YTF) yang ditubuhkan pada 19 April 2004 merupakan sebuah badan amal yang ditubuhkan bagi mengenal pasti, memberikan pengiktirafan dan mempromosikan wanita Malaysia yang berpotensi, cemerlang dalam akademik serta aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kokurikulum.\nTambah baginda lagi, peranan kaum wanita dalam pembangunan negara yang berteraskan lapangan ilmu dan sosial perlu diteliti dengan lebih menyeluruh. Pada era kini, wanita bukan sekadar sebagai pendukung, pengikut dan penyokong terhadap setiap keputusan yang ditetapkan, namun wanita juga perlu diberikan tempat dan peluang yang lebih utama dalam membuat keputusan dasar terutamanya dalam bidang sosial. Baginda turut menyeru kepada semua golongan wanita untuk terus bersama-sama dalam menyumbangkan peranan dan tenaga demi pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.\nKetika menyampaikan sembah ucapan dalam Seminar Yayasan Tuanku Fauziah, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran turut berkata bahawa perbincangan mengenai wanita sentiasa segar dan terus dikupas demi melestarikan kedudukan wanita dalam pembangunan negara. Kedudukan wanita secara umumnya telah dibincangkan sejak abad ke-19 oleh Abdullah Munshi dalam Hikayat Abdullah. Kedudukan dan peranan wanita Melayu dikisahkan dalam naskhah agung tersebut selain dalam naskhah yang lain. Beliau turut percaya bahawa wanita akan terus maju bukan kerana kewanitaannya, tetapi kerana wanita juga sama hebat dan berprestasi cemerlang seperti lelaki.\nSebelum mengakhiri sembah ucapan tersebut, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin turut menzahirkan ucapan terima kasih kerana kesudian DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berangkat hadir ke Seminat Yayasan Tuanku Fauziah pada pagi ini. Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil kerana memperkenankan DBP menganjurkan Seminar Yayasan Tuanku Fauziah yang merupakan siri seminar ke-14. Beliau turut mendoakan agar Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis dikurniakan kesihatan, dilanjutkan usia dalam keafiatan dan sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT." "Seminar Yayasan Tuanku Fauziah: Menongkah Minda Konservatif dan Konsep Patriarki\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Wanita dalam era globalisasi kini berdepan dengan pelbagai isu dan cabaran dalam usaha untuk bersama-sama membangunkan negara. Wanita sering kali dianggap sinonim dengan pemikiran tradisional dan konservatif yang masih mendukung konsep patriarki, iaitu sistem masyarakat yang sebahagian besar kekuasaannya dipegang oleh kaum lelaki.\n\nSehubungan dengan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Yayasan Tuanku Fauziah telah menganjurkan Seminar \u201cWanita dalam Pembangunan Negara\u201d yang diadakan di Sanggar Tun Sri Lanang, Menara DBP, pada hari ini. Seminar ini disempurnakan perasmiannya oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Seminar yang diadakan ini bertujuan untuk membawa semangat wanita dalam menongkah perspektif yang dikatakan menafikan peluang dan hak wanita dalam pelbagai ruang dan bidang, khususnya dalam aspek pembangunan negara.\nSebanyak empat orang ahli panel telah membentangkan kertas kerja masing-masing, iaitu Profesor Datuk Dr. Harlina Halizah Siraj, Penaung Akademi Dr. HAR; Profesor Datin Dr. Ruzy Suliza Hashim, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Puan Rozana Abdullah, Pegawai Penyelidik Parlimen dan Profesor Datuk Dr. Azizan Baharuddin, Pengarah Pusat Dialog Peradaban. Seminar ini turut menampilkan Profesor Madya Dr. Sharifah Syahirah S. Shikh, Pensyarah Kanan, Kolej Universiti Poly-Tech Mara sebagai moderator.\nPembentangan kertas kerja pertama oleh Profesor Datuk Dr. Harlina Halizah Siraj membawa persoalan tentang kepentingan pelibatan wanita dalam pembangunan negara dalam usaha mencapai cita-cita Rukun Negara dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 5: Mencapai Kesamaan Jantina dan Memperkasakan Semua Golongan Wanita. Menurut Profesor Datuk Dr. Harlina Halizah, pelibatan wanita adalah sangat penting supaya dapat menyumbang bakti dengan bakat dan potensi sedia ada, merapatkan jurang gender dan memberikan wanita peluang memimpin daripada barisan hadapan. Berkongsi data yang diperoleh, jurang gender dari sudut pendidikan dan kesihatan dilihat bertambah baik walaupun perlahan, namun dari sudut ekonomi dan politik masih sangat rendah.\nJika lebih ramai wanita ada di meja perundingan, maka tentu sekali suara wanita akan dapat didengar dan pandangan wanita akan dapat diambil.\nSehubungan dengan itu, beliau turut berkongsi kaedah meningkatkan kesedaran diri wanita kerana perlunya refleksi dan muhasabah diri untuk wanita mengenali kekuatan dan kelemahan diri, mengubah kerangka fikir melalui pembelajaran sepanjang hayat, mendapatkan keseimbangan hidup serta memahami konsep kesetaraan dan kesaksamaan gender. Beliau turut menekankan bahawa wanita perlu menghargai peluang untuk mentransformasikan diri dan perlu keluar dari zon selesa masing-masing, seterusnya menyeru semua wanita untuk mengambil bahagian dan berkolaborasi dengan kaum lelaki dalam mendukung kesetaraan gender.\nPembentangan kertas kerja kedua pula diteruskan oleh Profesor Datin Dr. Ruzy Suliza Hashim dengan mengetengahkan tajuk \u201cBajet Peka Gender: Ke Arah Kesetaraan Gender dan Pengupayaan Wanita\u201d. Mengulas manfaat pembentangan belanjawan lima tahun kebelakangan ini untuk wanita, Profesor Datin Dr. Ruzy Suliza secara ringkas mengulas mengenai negara yang menitikberatkan belanjawan peka gender dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan dan kesihatan terbaik khususnya melibatkan wanita. Beliau menyeru agar penilaian pengurusan dasar dan belanjawan tersebut dilaksanakan agar dapat melihat permasalahan yang masih belum diselesaikan berkaitan dengan struktur pengagihan, seterusnya dapat memanfaatkan peranan wanita dalam usaha mendukung pembangunan negara.\nPanel ketiga ialah Puan Rozana Abdullah, iaitu Pegawai Penyelidik Parlimen (Bidang Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial) yang banyak menulis jurnal dan buku yang berkaitan dengan wanita. Tajuk kertas kerja beliau ialah \u201cDinamika Kepimpinan Politik Wanita dalam Pembangunan Negara\u201d. Beliau berkata bahawa seseorang wanita itu akan menjadi luar biasa ketika dia berhasil mengajari dirinya bahawa semua sumber kekuatan, kebahagiaan dan motivasi itu ada dalam dirinya sendiri.\nMenurut beliau, jurang gender masih melebar terutamanya dalam bidang politik dan pelibatan wanita masih terikat dengan komitmen melalui matlamat mapan, iaitu lima matlamat termasuklah dalam konteks politik dan ekonomi. Hanya 30 peratus sahaja wanita yang terlibat dalam bidang politik dan ekonomi. Hal ini menyebabkan kedudukan wanita dalam politik dan ekonomi di Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding dengan negara jiran lain termasuklah Singapura.\nDalam konteks Parlimen di Malaysia, \u201csuara\u201d wanita masih ketinggalan jauh berbanding dengan \u201csuara\u201d lelaki. Pada ketika ini, penyertaan wanita dalam Parlimen hanyalah sebanyak 15 peratus sahaja. Tambah beliau, pada tahun 2019, sudah ada kecenderungan wanita dalam isu kekeluargaan oleh ahli Parlimen wanita. Menurut beliau lagi, jumlah kerusi wanita dalam Parlimen perlu ditingkatkan lagi supaya isu-isu yang berkaitan dengan wanita dapat diubah dan diperbaik termasuklah isu gangguan seksual yang menjadi kekangan utama pelibatan wanita dalam politik, ekonomi dan pembangunan. Kekangan ini sepatutnya perlu ditangani dengan segera.\nTambah beliau, di Malaysia sudah ada akta yang merapatkan jurang gender antara lelaki dengan wanita. Namun begitu, pelaksanaannya masih belum utuh lagi. Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan agar penambahan kuota perlu diadakan di Malaysia untuk merancakkan lagi penyertaan wanita di Parlimen. Sistem kuota ini sudah dilaksanakan di Jerman, Thailand, Filipina dan lain-lain. Beliau juga mencadangkan agar jawatan yang berkuasa tinggi seperti jawatan Menteri Pertahanan contohnya perlu diberikan tanggungjawabnya kepada wanita untuk menampilkan dan mengangkat kewibawaan wanita.\nPanel keempat dan terakhir pula ialah Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin, iaitu Pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya (Dialog antara Budaya, Tamadun, Agama dan Etika Alam Sekitar) telah membicarakan topik yang berkaitan dengan pembabitan wanita dalam pembangunan negara, isu-isu kebajikan dan isu keganasan terhadap wanita.\nTambah beliau, wanita perlu mencipta imej yang disukainya dan bukan dicipta oleh orang lain, dan inilah yang melestarikan kaum wanita. Selain itu, jelas beliau lagi bahawa wanita mempunyai kekuatan yang tersendiri termasuklah mampu mengutamakan keluarga dalam segala perkara. Peranan wanita jika dilihat dalam Islam dan al-Quran tidak pernah terkebelakang kedudukannya. Dalam al-Quran, tiada isu persaingan antara lelaki dengan wanita dan sepatutnya mereka saling membantu.\nSelain itu, wanita perlu diberikan keadilan dan perlu diberikan peluang memilih untuk mengikuti pilihannya sendiri. Wanita juga perlu diberikan harga diri dan diiktiraf supaya wanita dapat menjadi manusia yang mempunyai potensi diri. \u201cSeharusnya, kita bukan sahaja perlu mempunyai tokoh atau model wanita yang boleh dicontohi oleh wanita di seluruh dunia, malah wanita perlu membina imej yang selesa dengan diri sendiri yang boleh memberikan impak kepada semua orang.,\u201c jelas beliau semasa mengakhiri sesi seminar tersebut." "Wanita Pemangkin Kemajuan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 \u201cWanita pada hari ini kian bergerak maju dalam pelbagai bidang yang merangkumi pendidikan, sosial, politik, ekonomi dan sebagainya. Kita harus membetulkan tanggapan masyarakat pada hari ini yang meletakkan wanita sebagai pihak kedua dalam pembangunan.\u201d\n\u201cSlogan \u2018pemuda harapan negara, pemudi tiang negara\u2019 harus menjadi peringatan kepada kita bahawa betapa besarnya peranan wanita dalam memastikan kesejahteraan dan keharmonian masyarakat terpelihara.\u201c\nDemikianlah titah Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ketika berkenan menyempurnakan perasmian majlis penutupan Seminar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF): Wanita dalam Pembangunan Negara secara dalam talian pada petang tadi.\nTitah Raja Puan Muda Perlis merangkap Pengerusi YTF,\nWanita bukan sahaja memainkan peranan utama dalam pembentukan generasi akan datang, malah merupakan sumber ekonomi yang penting. Sikap rajin bekerja dan tekun menjadikan golongan wanita sebagai sasaran utama perindustrian di Malaysia.\nMelihat akan peri pentingnya perkara ini, YTF dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) komited mengadakan Forum Wanita dalam Pembangunan Negara yang berlangsung di Sanggar Tun Sri Lanang, Menara DBP.\nForum ini menampilkan dua orang ahli panel, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi dan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Datin Dr. Nurdianawati Irwani Abdullah, serta dikendalikan oleh Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa selaku moderator.\nDalam forum tersebut, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, Malaysia mempunyai Dasar Wanita Negara yang mendukung prinsip tiada diskriminasi berasaskan gender.\nMenurut beliau, dasar ini adalah untuk merealisasikan aspirasi kerajaan dalam usaha membangunkan modal insan yang berdaya saing dengan melahirkan wanita yang berilmu dan berwawasan, mempunyai daya kreativiti dan inovasi, serta menghayati murni.\nIntegriti seharusnya bermula dari rumah. Misalnya, sebagai ibu, kita perlu mengajar dan menunjukkan teladan yang terbaik kepada anak-anak untuk membantu menyelesaikan masalah di negara ini.\nKenyataan ini disokong oleh Profesor Datin Dr. Nurdianawati Irwani Abdullah yang menjelaskan bahawa perancangan dan pengurusan masa merupakan satu wahana penting dalam mendidik diri dan warga negara yang berkualiti dan berdaya saing.\nTambah beliau,\nDengan berlandaskan niat murni untuk menyumbang kepada ummah dan negara, perkara inilah yang mendorong saya untuk mengajar, menulis dan menerbitkan buku bagi menyebarluaskan ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat. Hal inilah yang mendorong kejayaan dalam hidup.\u201d\n\u201cWanita sebenarnya mempunyai kelebihan berbanding dengan lelaki, yakni golongan wanita lebih teliti, teratur, berfikiran kritis dan mematuhi peraturan.\nProfesor Datin Dr. Nurdianawati turut berpandangan bahawa sekiranya wanita mampu mengoptimumkan peranan dan tugas dengan baik, maka tiada lagi halangan bagi mereka untuk memberikan sumbangan dan memenuhi kapasiti dalam pembangunan negara.\nTerdahulu, dalam titah perasmian pembukaan, Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan kaum wanita agar bangkit dengan wajah baharu bagi meraih hak, kedudukan dan peluang sosial yang setepatnya dalam pembangunan masyarakat dan negara.\n\u00a0\nTurut hadir bersama-sama dalam forum ini ialah YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP dan YBhg. Dato\u2019 Rahman Shaari, Sasterawan Negara ke-15 dan isteri.\nPenganjuran forum ini menjadi medan atau platform penting untuk membuka mata masyarakat agar menyokong pelibatan golongan wanita dalam memenuhi keperluan negara." "Hasil Seni Pelajar Malaysia Dipamerkan di Pesta Buku Frankfurt 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nFrankfurt \u2013 Pesta Buku Frankfurt ke-74, pesta terbesar seumpamanya di dunia yang melibatkan lebih 2000 acara dan 4000 peserta pameran dari 95 negara dan wilayah bermula pada 19 hingga 23 Oktober 2022.\nDelegasi Malaysia diketuai oleh Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Encik Mohd Khair Ngadiron. Wakil Malaysia yang lain adalah dari institusi kerajaan dan pelbagai penerbit buku termasuklah Dewan Bahasa dan Pustaka dan Sekolah Seni Malaysia, Kuala Lumpur.\nPesta buku ini turut menawarkan beberapa aktiviti dan hasil seni pelajar seperti Sekolah Seni Malaysia yang turut sama hadir di sini. Antaranya termasuklah lima buah buku berilustrasi yang ditulis dan dilukis sendiri oleh pelajar dalam bidang seni visual.\nKarya berbahasa Inggeris yang dihasilkan oleh pelajar Malaysia dan mewarnai pavilion Malaysia di sini yang membawa tema budaya Malaysia ialah My Hero! The Time Traveler, Reminiscing the Old Days, Valentine is a Tenacious Girl, My Teacher dan My Father\u2019s Culture.\nMenurut Nur Balqis Faqihah, iaitu penulis karya berbentuk puisi, beliau pada mulanya tidak yakin untuk menulis tetapi beliau teruja untuk berkarya kerana dorongan daripada guru dari aspek lukisan dan penulisan.\nAinur Safeeya Uzma dan Batresya Nortajuddin pula, mereka mengambil peluang menulis untuk menonjolkan kebudayaan moden dan tradisional antara generasi muda dengan tua.\nBagi Sarah Hanina Nadhrah Ahmad Patria pula, menulis bukanlah matlamat utamanya. Namun begitu, dorongan daripada kawan-kawan membuatkan beliau meneruskan usahanya. Menurut Sarah Hanim, karyanya bercerita tentang pembinaan jati diri kanak-kanak melalui pengalaman watak yang hampir lemas ketika mahu menyelamatkan kucing.\nAlisha Nabeeha yang memang minat menulis mengambil peluang untuk mengemas kini karya lamanya sehingga berhasil menyiapkan sebuah karya yang memberikan semangat kepada pelajar yang gagal dalam pelajaran.\nPesta Buku Frankfurt dirasmikan oleh pasangan diraja Sepanyol, Raja Felipe VI dan Ratu Letizia serta Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier pada petang Selasa waktu tempatan." "Perkongsian Pintar Penerbit di Pesta Buku Frankfurt 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nFrankfurt \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyasarkan sebanyak 20 rundingan hak cipta pada Pesta Buku Frankfurt 2022 yang sedang berlangsung mulai 17 Oktober hingga 23 Oktober 2022.\nPada Pesta Buku Frankfurt kali ini, delegasi DBP diketuai oleh Pengarah Jabatan Penerbitan, Tuan Haji Razali Che Mat, Ketua Bahagian Harta Intelek, Encik Shah Rizal Azwan Ghazali dan Perancang Bahasa Bahagian Harta Intelek, Puan Nor Aida Mohd Salleh.\nMenurut Tuan Haji Razali Che Mat, pandemik COVID-19 telah mengubah landskap penerbitan negara. DBP perlu mengorak langkah yang lebih proaktif bagi mendapatkan input-input baharu melalui perkongsian dengan penerbit antarabangsa di samping penerbit tempatan. Input ini boleh dijadikan panduan untuk mengharungi cabaran dunia penerbitan pada masa hadapan.\nPada hari pertama pesta buku berlangsung, DBP telah mengadakan rundingan hak cipta dengan tiga pihak penerbit dari Amerika Syarikat dan satu penerbit dari India termasuklah satu penerbit dari Malaysia yang turut berminat untuk mendapatkan lesen penerbitan dan pengedaran buku terbitan DBP ke pasaran Thailand dan Indonesia. Selain itu, DBP juga mengadakan perundingan dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dalam hal yang berkaitan dengan kerjasama penerbitan.\nTuan Haji Razali Che Mat turut mengambil kesempatan menerangkan tatacara permohonan dana Penggerak Industri Buku Negara (PIBN) kepada syarikat penerbitan dari Malaysia.\nPada masa yang sama, DBP juga mengadakan rundingan dengan Sekolah Seni Malaysia untuk mendapatkan khidmat kepakaran mereka dalam menghasilkan ilustrasi yang boleh digunakan dalam penerbitan DBP." "Khatreena, Jenama Rekaan Puteri Sulung Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebanyak 26 rekaan jenama Khatreena diperagakan pada majlis makan malam A Night Ready to Wear Fashionable Luxury KL Fashion Week (KLFW) yang berlangsung di Element Hotel Kuala Lumpur.\nPakaian jenama Khatreena itu merupakan hasil rekaan Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail yang juga merupakan puteri sulung kepada Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis.\nAmBank (M) Berhad dengan kerjasama KLFW menyerahkan sumbangan bernilai RM50 000 kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, semalam.\nRaja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Pengerusi YTSP Perlis berkenan berangkat menghadiri majlis persembahan cek contoh yang dipersembahkan oleh Pengarah Urusan Retail Banking AmBank (M) Berhad Aaron Loo dan Pengasas KLFW, Andrew Tan di Kuala Lumpur baru-baru ini.\nBerangkat sama-sama dalam majlis tersebut ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.\nMenurut Aaron Loo, pihak AmBank telah melaksanakan inisiatif bersama kempen jualan amal dengan kerjasama Finn Anuar (@perempuanmelawanart). Artis komik tempatan berkenaan telah mereka cipta dua rekaan kemeja-T \u201c#iAmMalaysia\u201c untuk AmBank yang menyerlahkan lagi gambaran kehidupan seharian masyarakat di Malaysia.\nUjar beliau, sejumlah RM50 000 daripada hasil jualan baju tersebut telah dikhaskan untuk menyokong Pusat Autism di bawah YTSP Perlis yang akan memberikan sokongan kepada inisiatif di bawah Genius Kurnia, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).\nDalam perkembangan yang sama, satu hasrat untuk menjadikan Perlis sebagai \u201cdestinasi baharu industri tekstil pilihan\u201d melalui usaha pemerkasaan kemahiran golongan asnaf dan B40 sedang dalam pertimbangan untuk dilaksanakan oleh pihak KLFW dengan kerjasama pihak MAIPs dan YTSP Perlis." "Selamat Bersara TKPO DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Menyingkap sejarah tempoh perkhidmatan selama 39 tahun 4 bulan 24 hari, kini tibalah giliran Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) (TKPO), YBrs. Tuan Haji Abd. Halim Haji Harun menamatkan tempoh perkhidmatannya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nBertempat di Wisma DBP, seluruh warga DBP merakamkan penghargaan atas jasa, bakti dan budi yang dicurahkan dalam sebuah organisasi yang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.\nSaya berharap agar DBP terus cemerlang, gemilang dan terbilang. Teruskanlah bekerja dengan baik. Bagi sesiapa yang belum menemui kejayaan, tingkatkan prestasi untuk mencapai kejayaan dan jadilah seorang pekerja yang baik dan sayang akan organisasi.\nMemetik kata YBrs. Tuan Haji Abd Halim Haji Harun,\nKerja juga perlu dilaksanakan dengan teliti dan staf perlu mempunyai cita-cita untuk berjaya.\u201d\n\u201cSetiap orang impikan kejayaan. Semakin hari, semakin pantas kita bergerak sehinggakan kadang-kadang kita alpa dengan kesilapan. Meskipun begitu, teruskan usaha anda. Kesilapan akan mengajar dan mendorong kita ke arah mencapai matlamat yang sebenar.\nBeliau mula berkhidmat sebagai Pegawai Kerja Gred B11 pada tahun 1983, kemudian menjawat beberapa jawatan penting di beberapa Bahagian di DBP sebelum menjawat jawatan terakhirnya sebagai TKPO di DBP.\nDalam perkembangan yang sama, YBrs. Tuan Haji Abd Halim turut mengingatkan seluruh warga DBP agar bersungguh-sungguh dalam melakukan apa-apa jua kerja yang dilakukan kerana segala yang dilaksanakan adalah dalam pengetahuan-Nya.\n\u201cBuatlah yang terbaik untuk DBP kerana di sinilah tempat kita mencari rezeki dan mendapat pelbagai kemudahan untuk sebuah kehidupan,\u201c pesan beliau dalam sebuah majlis khas meraikan persaraan wajib beliau pada hari ini." "Murid Pendidikan Khas dari Perspektif Perubatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMurid Pendidikan Khas dari Perspektif Perubatan \nPasukan atau individu dalam bidang perubatan dan kesihatan merupakan kumpulan profesional yang penting dalam membangunkan sistem pelaksanaan pendidikan khas. Pengkategorian Kanak-kanak Berkeperluan Khas (KKBK) dilakukan oleh ahli perubatan berasaskan pada ciri kanak-kanak daripada perspektif perubatan. Kumpulan murid tersebut diklasifikasikan sama ada mengalami ketidakupayaan penglihatan seperti buta dan rabun, ketidakupayaan pendengaran seperti pekak, ketidakupayaan pertuturan seperti lambat bertutur, ketidakupayaan fizikal seperti kudung dan masalah pembelajaran seperti autistik dan sindrom Down atau mana-mana kombinasi ketidakupayaan tersebut seperti buta-pekak serentak.\nPengesahan sama ada seseorang kanak-kanak itu perlu belajar di sekolah pendidikan khas juga dilakukan oleh ahli perubatan dan kesihatan. Menurut Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), murid tersebut perlu disahkan atau diperakukan oleh mana-mana pengamal perubatan, ahli optik, ahli audiologi atau ahli psikologi sama ada dalam perkhidmatan kerajaan atau swasta. Ketidakupayaan yang dialami menyebabkan mereka tidak dapat mengikuti pendidikan secara biasa dan ditempatkan dalam aliran dikenali pendidikan khas.\nKeadaan fizikal, deria, mental, emosi, sosial, kesihatan atau tingkah laku merupakan ciri-ciri yang dinilai terhadap seseorang kanak-kanak. Kebisaannya, ahli perubatan akan menilai kanak-kanak berasaskan kecacatan/kekurangan yang dimiliki berdasarkan ciri-ciri perubatan. Kemudiannya kanak-kanak tersebut dikategorikan dalam kumpulan KKBK. Sebab-sebab atau punca kecacatan dan kekurangan diberi fokus utama dan cadangan-cadangan untuk mengatasi kecacatan turut diberikan.\n\nDari segi sejarah, sebelum 1980-an, pendidikan khas di Malaysia bermula dengan memberikan tumpuan kepada kanak-kanak yang mengalami masalah penglihatan dan pendengaran. Kemudian selaras dengan perkembangan pendidikan khas luar negara, pendidikan bermasalah pembelajaran dimulakan pada tahun 1987 yang menjurus kecacatan yang ada kepada kanak-kanak. Konsep kanak-kanak masalah pembelajaran menjurus kepada kanak-kanak yang mengalami kesukaran dan kesukaran mengikuti pembelajaran di kelas kanak-kanak biasa.\nSecara spesifik kanak-kanak autisme, terencat akal, kepelbagaian kecacatan, kelewatan pertumbuhan dan perkembangan, gangguan emosi, masalah pembelajaran khusus dan mana-mana kanak-kanak yang tidak boleh mengikuti persekolahan biasa dengan syarat boleh belajar dan mengurus diri sendiri boleh mendaftar di kelas pendidikan khas. Sebelum itu, kanak-kanak tersebut perlu mendapat pengesahan oleh pengamal perubatan, kesihatan dan psikologi melalui borang khas yang mempunyai beberapa aspek penilaian terhadap seseorang kanak-kanak.\nSetelah semakan terhadap kanak-kanak yang mengikuti persekolahan dalam \u201caliran\u201d pendidikan khas dilakukan pada tahun 2015, Bahagian Pendidikan Khas (2015) mengkategorikan murid pendidikan khas seperti berikut:\n\u00b7\u00a0 Deaf-blind (Buta-pekak)\n\u00b7 Hearing impairments including deafness (Masalah pendengaran/pekak)\n\u00b7 Mental retardation (Terencat akal)\n\u00b7 Multiple disabilities (Kepelbagaian kecacatan)\n\u00b7 Orthopedic impairment (Kecacatan orthodopedik)\n\u00b7 Other health impairments (Kecacatan kesihatan lain)\n\u00b7 Specific learning disabilities (masalah pembelajaran khusus)\n\u00b7 Speech or language impairments (Kecacatan pertuturan atau berbahasa)\n\u00b7 Traumatic brain injury (Kecederaan otak traumatik)\n\u00b7 Visual impairments including blindness (kecacatan penglihatan dan buta)\n\u00b7 Developmental delay (Kelewatan pertumbuhan dan perkembangan)\nKanak-kanak ini dilabel atau dikategorikan berdasarkan kecacatan yang dialami oleh mereka. Hal ini bermakna kanak-kanak dikategorikan berdasarkan ciri-ciri umum tertentu yang sama, yang dikongsi oleh kumpulan kanak-kanak tersebut. Sebagai contoh, kanak-kanak yang dikategorikan sebagai bermasalah pendengaran atau pekak berkongsi ciri-ciri ketidakupayaan mendengar bunyi (bahasa atau bukan bahasa) dan bermasalah dalam menggunakan bahasa pertuturan. Pengkategorian tersebut memiliki kelemahan dari segi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran kerana setiap kanak-kanak secara fitrahnya berbeza walaupun dalam kategori yang sama. Perdebatan tentang hal ini masih berterusan kerana mempunyai baik buruknya bukan sahaja dalam melaksanakan pendidikan tetapi terhadap kehidupan kanak-kanak pendidikan khas apabila mereka dewasa kelak.\nUmpamanya, kanak-kanak pekak tersebut bukan bermakna mereka mempunyai darjah kepekakan yang sama atau ketidakupayaan menghasilkan bahasa pertuturan yang sama. Ada dalam kalangan kanak-kanak ini yang mempunyai sedikit pendengaran dan boleh menghasilkan pertuturan. Begitu juga dengan kumpulan kanak-kanak yang dikategorikan dalam kumpulan yang lain. Mereka mungkin memiliki persamaan dari segi ciri-ciri umum tetapi tidak sama dari segi ciri-ciri khusus.\nMemahami persamaan dan perbezaan ciri-ciri umum dan khusus ini amat penting kerana maklumat ini akan mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap pendidikan kumpulan kanak-kanak ini. Kanak-kanak ini berbeza dan mempunyai potensi diri yang berbeza sama ada dari segi inter-kumpulan (kategori kecacatan yang sama) atau intra-kumpulan (kategori kecacatan yang berbeza). Oleh itu, guru seharusnya memberi layanan yang terbaik walaupun berbeza kepada setiap kanak-kanak berdasarkan ciri-ciri jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) yang ada pada kanak-kanak bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan kehidupan masa depan mereka.\nDari perspektif perubatan, kanak-kanak pendidikan khas dilihat sebagai mengalami kecacatan kerana pendekatan perubatan mengutamakan pemulihan atau mengubat kecacatan yang dialami. Umpamanya, usaha terhadap kanak-kanak pekak dilakukan untuk memulihkan pendengaran dan melatih mereka bertutur. Begitu juga dengan usaha perubatan yang dilakukan ke atas kanak-kanak buta adalah untuk memulihkan penglihatan mereka dengan menggunakan pendekatan teknologi perubatan terkini yang pesat membangun dari semasa ke semasa.\nManakala dari perspektif pendidikan pula, kanak-kanak pendidikan khas dilihat sebagai satu kumpulan kanak-kanak yang memerlukan pendidikan yang paling sesuai dengan kebolehan mereka. Oleh itu, mereka yang mempunyai ciri-ciri boleh mengurus diri sendiri dan mempunyai keupayaan untuk menerima pendidikan (educable) seharusnya boleh diterima untuk bersekolah. Dari perspektif pendidikan, antara perkara-perkara yang diberi pertimbangan dalam pelaksanaan pendidikan kepada murid ini ialah:\n\u00a0\nWujud perbezaan dari segi matlamat antara perspektif perubatan dengan pendidikan. Perspektif perubatan menekankan kepada pemulihan daripada kecacatan/kekurangan dan pemuliharaan daripada kecacatan/kekurangan yang ada pada seseorang supaya tidak bertambah teruk dengan menggunakan pelbagai kaedah perubatan. Manakala perspektif pendidikan bermatlamat memberi pendidikan sebaik mungkin, yang bersesuaian dengan potensi yang ada pada murid berkeperluan khas dengan mengambil kira bahawa kecacatan yang ada pada seseorang bukan penghalang kepada mereka untuk mendapat dan berjaya dalam pendidikan. Oleh itu, konsep pengubahsuaian kandungan kurikulum dan pembinaan kurikulum baru yang bersesuaian dengan kategori kanak-kanak perlu dilaksanakan.\nSehubungan dengan itu, beberapa istilah digunakan dalam konteks pendidikan yang merujuk pada murid pendidikan khas, yang setiap satu mempunyai konotasi tersendiri seperti berikut:\nSecara perbandingan, perkembangan pendidikan khas negara pesat membangun berbanding dengan sebelum 1980-an. Pengaruh negara luar banyak membantu meningkatkan kualiti pendidikan tersebut di samping kesedaran yang berlaku dalam pengurusan pendidikan negara. Peranan masyarakat, terutamanya ibu bapa yang mahu akan anak-anak mereka yang tidak boleh mengikuti persekolahan biasa merupakan \u201ckuasa pendesak\u201d bagi memastikan kualiti pendidikan mencapai hasrat yang digariskan dalam falsafah pendidikan khas negara.\nCahaya yang malap di hujung terowong sudah mulai cerah, anak-anak pendidikan khas sudah dan sedang menikmati pendidikan seperti situasi yang berlaku di luar negara yang disesuaikan dengan kemampuan dan budaya tempatan. Hal ini bertitik tolak daripada banyaknya penglibatan dan termeterainya konvensi yang ditandatangani oleh pemimpin negara dan pemimpin pendidikan. Oleh itu, kewujudan pendidikan khas merupakan satu rahmat bukan sahaja kepada kanak-kanak yang memiliki ciri-ciri pendidikan khas, malah juga kepada warganegara Malaysia yang memiliki pelbagai kebolehan dan bakat. Hak mendapat pendidikan terbuka luas kepada semua kanak-kanak dan situasi ini bertepatan dengan slogan \u201ctiada kanak-kanak tertinggal\u201d dalam usaha mendapat pendidikan." "Raja Muda Perlis Ketuai Program Kayuhan Basikal di Sarawak: Semarakkan Bahasa dan Sastera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengetuai acara kayuhan basikal bersempena dengan sambutan ulang tahun penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak yang ke-45 di Kuching, Sarawak semalam. Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Encik Fazruddin Abdul Rahman dan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Abang Julai.\nYang turut serta dalam acara tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah JPA (Operasi), Datuk Ts. Kamel Mohamad, Ketua Perangkaan Malaysia, Dato\u2019 Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin,\u00a0Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Dato Mohd Azman Ahmad Sapri, Panglima 1 Divisyen Tentera Darat Malaysia, Mejar Jeneral Hassan Embong dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datu Dr. Sabariah Putit.\nProgram kayuhan tersebut melibatkan kira-kira 100 orang peserta daripada Persatuan Berbasikal Sarawak yang mengiringi baginda dalam kayuhan sejauh 20 kilometer. Program kayuhan berkenaan bermula dari Pustaka Negeri Sarawak dan berakhir di Pejabat DBP Cawangan Sarawak.\nMenerusi program tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra dan para peserta singgah di Masjid Al-Ghazali sebelum meneruskan kayuhan ke Masjid Al-Abyad, Matang Jaya melalui Kampung Temenggung Haji Gobil, Kampung Semerah Padi, Matang Jaya, Kampung Tupong dan Kampung Lintang.\nProgram yang dikelolakan oleh DBP Cawangan Sarawak itu mendapat kerjasama daripada Pustaka Negeri Sarawak, Persatuan Berbasikal Negeri Sarawak, Kelab Berbasikal Matang Jaya dan pelbagai agensi peringkat persekutuan serta negeri Sarawak.\nObjektif program tersebut adalah untuk mempromosikan peranan, fungsi serta kepentingan bahasa dan sastera kebangsaan sebagai satu daripada elemen teras pembinaan tamadun bangsa dan negara bangsa Malaysia selain menjadi wadah untuk menyebarluaskan dan menyemarakkan bahasa dan sastera serta meningkatkan kepentingan bahasa dalam kalangan masyarakat Malaysia.\nPelibatan kepelbagaian pihak dalam program ini mencerminkan keprihatinan masyarakat dalam memastikan penggunaan bahasa kebangsaan serta pengukuhan sastera mampu dimartabatkan dalam pelbagai bidang di negeri ini.\nSementara itu, DBP Cawangan Sarawak ditubuhkan sejak Januari 1977. Penubuhan DBP Cawangan Sarawak bertujuan untuk mengambil alih Biro Kesusasteraan Borneo yang telah ditubuhkan pada tahun 1959. Dengan pengambilalihan fungsi Biro Kesusasteraan Borneo ini, bermakna DBP Cawangan Sarawak merupakan agensi yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam soal pembinaan, pengembangan dan pemartabatan bahasa dan sastera di Sarawak, di samping tugas yang amat penting untuk menyokong perkembangan bahasa dan sastera, iaitu penerbitan dan pemasaran buku terbitan DBP.\nSejak penubuhan itu, DBP Cawangan Sarawak menjadi pusat serta tumpuan para peminat, pengkaji dan khalayak bahasa dan sastera di Bumi Kenyalang. Pejabat cawangan ini menjalankan tugas pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera serta menjalankan tugas penerbitan dan pemasaran buku. Sehubungan dengan itu, DBP Cawangan Sarawak perlu terus bertindak dan berperanan sebagai sebuah organisasi yang mendukung usaha-usaha untuk memasyarakatkan bahasa dan sastera kebangsaan dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat." "Perlis, Tuan Rumah SKAW Tentera Darat Malaysia Siri Ke-33\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Tentera Darat Malaysia Siri Ke-33 Tahun 2022 akan berlangsung selama tiga hari bermula esok hingga 30 Oktober 2022, yang menjadikan negeri Perlis sebagai tuan rumah majlis.\nRaja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah memaklumkan bahawa kesemua komander yang datang dari seluruh negara akan memulakan program dengan menghadiri majlis sembah mengadap hormat ke atas Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang pernah menjadi Komander Rejimen 504 ketika memegang jawatan Tuanku Raja Muda Perlis suatu ketika dahulu dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid di Istana Arau pada Jumaat malam.\nTitah Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyertai program berbasikal anjuran Me\u2019nate Steak Hub, yakni bermula di Me\u2019nate Steak Hub dan berakhir di pekarangan cawangan restoran berkenaan di The Curve Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.\nKeberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Me\u2019nate Steak Hub, Azuan Arif Tan Sri Mohd Ariffin. Turut mengambil bahagian ialah Ketua Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran.\nMengulas lebih lanjut, hari kedua berlangsungnya program, persidangan SKAW akan diadakan di Bilik Senat, Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kampus Alam Pauh Putra dan diikuti pada sebelah petangnya lawatan silaturahim ke kem Tentera Darat DiRaja Thailand tidak jauh dari sempadan Malaysia-Thailand Padang Besar.\nMesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD) Malaysia, Leftenan Jeneral Dato\u2019 Seri Mohammad Ab. Rahman.\nSeterusnya, pada hari terakhir program, komander akan menyertai program istimewa berupa \u201cExplorace\u201d di sekitar Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis bagi berinteraksi dengan masyarakat setempat.\nPada kesempatan yang sama, Tuanku Raja Muda Perlis mengucapkan penghargaan kepada Dato\u2019 Zamri Mohamad dan Kasyaf Bina Sdn. Bhd. yang membiayai kos untuk jemputan persembahan kebudayaan pada jamuan makan pada Sabtu malam dan juga Robin Lim dari Superfruits Valley di Chuping, Perlis yang akan menyumbangkan jus buah ara, serta beberapa buah-buahan segar lain, seperti mulberi, buah ara, buah markisah dan gac hasil produk mereka." "PRU-15: Pelajar Diberi Lima Hari Cuti Pelepasan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Semua pelajar di institut bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diberi cuti pelepasan bermula 17 hingga 21 November 2022 untuk pulang mengundi bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 yang diadakan pada 19 November 2022 kelak.\nMenurut KPM, pelajar yang terlibat ialah pelajar di Institut Pendidikan Guru, Kolej Matrikulasi, Kolej Vokasional dan Tingkatan Enam.\nSemua kelas atau aktiviti yang melibatkan pelajar dalam tempoh tersebut perlu ditangguhkan ke suatu tarikh lain.\u201d\n\u201cTempoh pelepasan ini bertujuan untuk membolehkan pelajar mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat perjalanan pergi dan balik ke lokasi pusat pengundian masing-masing.\nKPM turut memaklumkan bahawa ketetapan ini juga sebagai tanda sokongan KPM bagi pelaksanaan Undi 18 yang telah diwartakan oleh kerajaan pada 1 Disember 2021 dan berkuat kuasa mulai 15 Disember 2021." "SKAW-33: Raja Muda Perlis Terima Sembah Rejimen 504 Askar Wataniah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra \u2013\u00a0Rejimen 504 Askar Wataniah menerima keberangkatan tetamu diraja ke Perlis bagi menghadiri Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri 33/2022 bermula pada hari ini dan berakhir pada 30 Oktober 2022.\nRaja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima sembah menghadap Rejimen 504 Askar Wataniah.\nAntara tetamu diraja yang menghadiri persidangan tersebut, termasuklah Raja Muda Kedah Brigedier Jeneral Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin (Komander Rejimen 513 AW); Tunku Besar Seri Menanti Negeri Sembilan Brigedier Jeneral Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz (Komander Rejimen 508 AW); Tengku Seri Temenggong Raja Tetengganu Brigedier Jeneral Dato\u2019 Seri Tengku Baharuddin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah (Komander (Rejimen 512 AW); dan Tengku Panglima Raja Pahang Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (Komander Rejimen 505 AW).\nPersidangan ini dipengerusikan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman. Turut serta ialah Asisten Panglima Pasukan Simpanan, Mejar Jeneral Datuk Hamdan Haji Ismail.\nMengulas lanjut, raptai penuh diadakan di sekitar Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni di Seberang Ramai Kuala Perlis pada sebelah petangnya dan di Istana Arau pada malam semalam." "PRU-15 Mengutamakan Generasi Z?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGendang Pilihan Raya umum ke-15 (PRU-15) yang dipalu menyebabkan mana-mana parti politik kini berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Hampir semua jentera kepartian kini menggunakan formula masing-masing untuk meraih kemenangan bagi membentuk kerajaan. \u00a0PRU15 dijangka berlangsung dalam keadaan sengit kerana pertandingan pada kali ini melibatkan empat penjuru, iaitu Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Pakatan Harapan dan Gerakan Tanah Air. Boleh dikatakan majoriti rakyat yang akan menentukan pemilihan kelak untuk menerajui kerajaan datangnya daripada generasi Z dan generasi Y.\nGenerasi Z kini memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan mana-mana gabungan parti yang akan bertanding dalam PRU-15. Statistik kependudukan Malaysia kini menunjukkan bahawa terdapat 32.6 juta orang penduduk Malaysia. Daripada jumlah itu, hampir 70 peratus penduduk Malaysia ialah kaum Bumiputera diikuti oleh kaum Cina (23 peratus) dan kaum India (tujuh peratus). Analisis menunjukkan bahawa generasi Z yang berumur 25 tahun ke bawah merangkumi jumlah yang besar daripada keseluruhan penduduk Malaysia, iaitu sebanyak 25 peratus. Kajian menunjukkan bahawa hampir 80 peratus generasi Z ialah kaum Bumiputra, manakala kaum Cina (15 peratus) dan sebanyak lima peratus pula diwakili oleh kaum India.\nGenerasi Y merangkumi sebanyak 26 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia dan berumur antara 26 tahun hingga 41 tahun. Generasi Y menunjukkan bahawa hampir 70 peratus diwakili oleh kaum Bumiputra, diikuti oleh kaum Cina sebanyak 23 peratus dan kaum India sebanyak tujuh peratus. Manakala generasi X pula merangkumi 18 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia, iaitu 60 peratus terdiri daripada kaum Bumiputera diikuti oleh kaum Cina sebanyak\u00a0 30 peratus dan India sebanyak\u00a0 10 peratus yang berumur antara 42 tahun hingga 57 tahun.\nPengenalan dunia pendigitalan dan kecerdasan buatan ke dalam konteks politik negara memberikan satu perubahan radikal ke atas paradigma perspektif politik dalam kalangan generasi Z. Generasi Z kini merupakan bilangan terbesar yang bakal menentukan momentum perubahan politik di negara ini. Kajian menunjukkan bahawa 52 peratus generasi Z diwakili oleh kaum generasi Y (48 peratus) diikuti oleh generasi X (45 peratus). Situasi ini menunjukkan bahawa produk segmen politik generasi Z ini tidak lagi terikat dengan politik lama, iaitu politik etnik, politik agama dan politik baharu. Hampir 80 peratus generasi Z tinggal di bandar, mempunyai sekurang-kurang berpendidikan diploma dan mempunyai pengalaman berhubung dengan dunia ekonomi GIG.\nYang menariknya, majoriti generasi Z pada hari ini lebih melihat kepada segmen produk politik rasional baharu yang terdedah dengan dunia politik media baharu. Walau bagaimanapun, sebahagian besar daripada mereka kurang berminat dengan politik dan lebih terarah kepada dunia tersendiri dalam kumpulan media baharu. Mereka tidak lagi terikat dengan dunia secara fizikal dan perbincangan tentang situasi yang berlaku di negara ini adalah lebih luas dan terbuka berbanding dengan generasi Y dan generasi X. Bukan mudah untuk membawa satu nada yang seiring dengan pemikiran generasi Z dalam erti kata mempunyai persamaan sokongan parti ke atas parti tertentu. Masing-masing dalam generasi Z ini terarah kepada luahan sebagai netizen yang mampu membina sebuah dasar kerajaan tanpa disedari oleh ahli Parlimen yang dilantik sebagai ahli badan legislatif.\nKerasionalan politik generasi Z juga tidak sama dengan politik rasional yang dihujahkan oleh para sarjana Barat disebabkan generasi Z mempunyai kepelbagaian pengisian rasional politik yang ada kalanya bercampur dengan politik konvensional. Percampuran ini membawa kepada satu lagi konsep baharu dalam politik rasional di negara ini. Kerasionalan generasi Z dalam melihat satu pandangan politik mereka dalam dunia tersendiri turut dikongsi bersama dalam dunia alam maya. Perkongsian di alam maya jauh lebih luas dan tidak terbatas dalam dunia pergaulan dalam kalangan generasi Z. Situasi ini seolah-olah menggambarkan dalam teori domino bahawa satu cetusan pandangan bakal memberikan impak kepada mereka yang terlibat dalam dunia perkongsian alam maya yang menjangkaui ratusan mahupun ribuan perkongsian dalam hanya tempoh satu minit.\nBerbanding dengan politik baharu yang digunakan sejak tahun 1999 sehingga wujudnya satu konsep Malaysia Baharu pada tahun 2019 adalah jauh berbeza daripada politik rasional. Politik baharu menekankan konsep tadbir urus kerajaan yang berintegriti dan berakauntabiliti. Namun begitu, dalam konsep politik rasional ini menekankan keupayaan kerajaan dalam memenuhi aspirasi rakyat yang sedang melalui beberapa krisis seperti ekonomi dan kehidupan. Hal ini memerlukan satu fokus tindakan kerajaan dalam merangka dasar yang lebih fleksibel dengan berusaha untuk menyelesaikan isu-isu semasa yang melingkari kehidupan rakyat terutamanya melibatkan generasi Z. Disebabkan hal itu, pelbagai kaedah digunakan oleh kerajaan pada hari ini dalam menyempurnakan tugasan kepada rakyat dan tidak lagi berdasarkan kepada satu kaedah dalam mencari penyelesaian.\nSejak tahun 2016, sebanyak 95 peratus penduduk Malaysia mendapat liputan Internet 3G dan 64 peratus pula mendapat liputan Internet 4G. Pada masa ini, boleh dikatakan hamper 95 peratus \u00a0penduduk Malaysia menikmati liputan Internet 4G ke atas. Generasi Z merupakan generasi pertama yang mendapat kemudahan liputan Internet 3G ke atas berbanding dengan generasi X dan generasi lain. Malahan Generasi Z dikatakan sebagai generasi yang mula diperkenalkan teknologi telefon android dan kemudahan liputan Internet seawal usia kanak-kanak lagi. Pendedahan kepada telefon android ini hampir meliputi 99 peratus keseluruhan generasi Z dengan capaian Internet melebih 95 peratus. Situasi ini menyebabkan keseluruhan generasi Z menjadi pengguna tegar media sosial baharu seperti Facebook, Tiktok, Instagram dan lain-lain. Buat pertama kali boleh dikatakan keseluruhan kehidupan generasi Z adalah dalam dunia media sosial yang mempunyai kumpulan interaksi sosial tersendiri tanpa mengenal sempadan sehingga menyebabkan mereka merasai pengalaman perubahan politik yang berlaku antara zaman kejatuhan BN pada tahun 2018 sehinggalah kepada pemerintahan zaman PH selama 22 bulan. Generasi Z juga merasai kehidupan buat pertama kali pemerintahan kerajaan Malaysia bukan di bawah BN dan melihat sendiri manifesto yang dijanjikan oleh PH sebelum PRU-14.\nGenerasi Z merupakan generasi yang mempunyai kesedaran dalam isu politik negara terutamanya krisis politik, ekonomi dan sosial yang berlaku sejak 9 Mei 2018. Generasi Z juga diberikan ruang untuk terlibat sebagai pengundi buat pertama kali selepas Akta Undi 18 tahun ke atas dilaksanakan. Malahan Akta Pembangunan Belia dan Persatuan Belia juga dirombak dengan mengumunkan golongan belia ialah golongan yang berumur 30 tahun ke bawah. Hal ini bermakna keseluruhan umur generasi Z memainkan peranan yang amat besar dalam masa depan politik negara kelak.\nGenerasi Z secara ringkasnya dipengaruhi oleh empat faktor, iaitu keterlibatan dalam dunia elektronik, berpendidikan, bersifat keusahawanan ekonomi GIG dan mempunyai daya kuasa sebagai pengkritik yang proaktif. Sebarang aktiviti politik masa kini dianggap sebagai realiti sebenar yang akan terpampang dalam dunia media sosial baharu. Maka, parti politik masing-masing perlu memperkasakan kepolitikan generasi Z yang merupakan aset dan tunjang utama masa depan politik di negara ini.\nDr. Iskandar Hasan Tan Abdullah, Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan." "Raja Perlis Menerima Sembah Mengadap Komander Askar Wataniah Sempena SKAW\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan menerima sembah mengadap Komander-komander Askar Wataniah Siri 500 bersempena dengan Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) bermula semalam sehingga Ahad ini.\nAntara tetamu diraja yang berangkat mengadap Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis ialah Raja Muda Kedah Brigedier Jeneral Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin (Komander Rejimen 513 AW), Tunku Besar Seri Menanti Negeri Sembilan Brigedier Jeneral Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz (Komander Rejimen 508 AW), Tengku Seri Temenggong Raja Terengganu Brigedier Jeneral Dato\u2019 Seri Tengku Baharuddin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah (Komander (Rejimen 512 AW) dan Tengku Panglima Raja Pahang Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (Komander Rejimen 505 AW).\nBaginda berdua turut meraikan kesemua tetamu undangan pada Majlis Santapan DiRaja di Balai Bankuasi Istana Arau dan turut dihadiri oleh anakanda-anakanda Tuanku Raja Muda Perlis, iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah, YAM Sharifah Farah Adriana dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.\nPersidangan ini dipengerusikan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat Malaysia\nLeftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman. Turut serta dalam majlis ini ialah Asisten Panglima Pasukan Simpanan Mejar Jeneral Datuk Hamdan Haji Ismail.\nSKAW Siri ke 33/2022 ini dikoordinasikan dan diterajui oleh Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, iaitu Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail." "SKAW Siri ke-33/2022 Berlangsung dengan Jayanya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra \u2013 Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri ke-33/2022 yang dianjurkan oleh negeri Perlis melalui Rejimen 504 Askar Wataniah berlangsung dengan jayanya di Dewan Senat, Bangunan Canselori, Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra, semalam.\nAntara komander yang terlibat merupakan hos persidangan pada kali ini ialah Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (Komander Rejimen 504 AW), Raja Muda Kedah Brigedier Jeneral Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin (Komander Rejimen 513 AW), Tunku Besar Seri Menanti Negeri Sembilan Brigedier Jeneral Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz (Komander Rejimen 508 AW), Tengku Seri Temenggong Raja Terengganu Brigedier Jeneral Dato\u2019 Seri Tengku Baharuddin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah (Komander (Rejimen 512 AW) dan Tengku Panglima Raja Pahang Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (Komander Rejimen 505 AW).\n\nPersidangan ini dipengerusikan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat\u00a0Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan diiringi Asisten Panglima Pasukan Simpanan Tentera Darat Mejar Jeneral Datuk Hamdan Haji Ismail. Dalam ucapan pembukaan beliau, Datuk Seri Mohammad berharap semoga Askar Wataniah akan terus relevan seiring dengan perkembangan Tentera Darat Malaysia berdasarkan Pelan Pembangunan Jangka Panjang Tentera Darat iaitu Army For Next Generation (ARMY 4NEXTG) dan Pelan Strategik Hala Tuju Askar Wataniah 2022-2023.\nPara komander turut dipersembahkan dengan persembahan tarian perang penuh bersemangat oleh anggota kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Tentera Darat UniMAP, lawatan ke Galeri DiRaja Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, demonstrasi produk reka cipta UniMAP dan persembahan kesenian bertenaga oleh Pusat Kebudayaan UniMAP bersama-sama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti.\nPada akhir sidang tersebut, semua komander meluangkan masa mengunjungi Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra UniMAP yang dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan canggih dan moden yang disediakan di universiti awam tersebut yang telah mencecah 21 tahun usia penubuhannya.\n(Sumber foto: UniMAP)" "Pendidikan Antirasuah di Malaysia: Bilakah Perlu Bermula?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSejak akhir-akhir ini, tumpuan rakyat tertumpu pada keputusan Mahkamah Persekutuan ke atas tokoh tertentu yang terbabit dengan kes rasuah yang pernah menggemparkan Malaysia. Kes ini bukanlah kes terakhir yang melibatkan individu ternama di negara ini kerana selepas ini akan ada lagi individu-individu berprofil tinggi yang akan berhadapan dengan hukuman yang terkait kes rasuah. Fenomena ini sangatlah menyedihkan kerana individu yang menjadi tokoh berpengaruh di negara ini seharusnya menjadi contoh bagi rakyat Malaysia terutamanya terhadap golongan muda selaku generasi penerus kepimpinan di negara ini.\nFenomena rasuah di Malaysia telah lama wujud, iaitu baik dalam skala kecil mahupun besar. Perbuatan rasuah ini berlaku hampir di semua sektor melibatkan institusi kerajaan mahupun swasta. Fenomena ini menjadi budaya buruk yang boleh merosakkan akhlak generasi muda serta meruntuhkan negara pada kemudian hari. Banyak kes rasuah di dunia melibatkan tokoh dan pimpinan negara sehingga membawa kepada kehancuran negara dan kesusahan hidup rakyatnya. Bagi mencegah agar Malaysia tidak menuju ke arah kerosakan, maka pencegahan perlu dilakukan sejak awal. Satu daripada cara untuk mencegah meluasnya budaya rasuah di Malaysia adalah dengan mereformasikan sistem pendidikan, baik secara formal mahupun informal.\nJawatankuasa Khas Kabinet berkaitan dengan antirasuah telah memutuskan supaya kursus Integriti dan Antirasuah menjadi kursus wajib di seluruh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bermula\u00a0 pada tahun hadapan. Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali mengatakan bahawa kursus ini akan menjadi subjek yang sistematik dan berstruktur untuk pemahaman pelajar mengenai rasuah dan membantu memberikan kesedaran kepada pelajar untuk tidak meminta rasuah dan tidak memberikan rasuah kepada mana-mana pihak. Kursus ini sangat penting bagi pelajar kerana banyaknya godaan yang wujud dalam dunia pekerjaan dan tekanan kehidupan selepas menamatkan pengajian kelak yang mungkin menyebabkan pelajar-pelajar ini mudah terperangkap dalam jerat rasuah.\nUsaha kerajaan ini sangat dihargai kerana rakyat mengharapkan budaya rasuah di Malaysia akan semakin berkurangan, sekali gus lenyap pada masa akan datang. Berkaitan dengan pelaksanaan kursus antirasuah di IPT, pertanyaan besar yang muncul termasuklah berkaitan dengan tahap keberkesanan kursus yang hanya diberikan selama satu semester di IPT. Adakah kursus tersebut mampu menimbulkan kesedaran dan mengubah perilaku pelajar terhadap rasuah kerana tempohnya yang pendek?\nBerdasarkan data daripada SPRM, didapati sebanyak 275 orang belia yang berusia dalam lingkungan 18 hingga 30 tahun ditahan atas kesalahan rasuah membabitkan 231 orang lelaki dan 44 orang wanita sejak 2020. Sebanyak 151 orang belia dituduh di mahkamah atas kesalahan memberi, menerima dan lain-lain kesalahan berkaitan rasuah dengan membabitkan 11 orang berusia dari 18 hingga 23 tahun, dan 140 orang berusia dari 24 hingga 30 tahun. Keadaan ini sangat membimbangkan bagi sebahagian besar rakyat\u00a0 kerana masa depan negara kita bergantung kepada golongan ini. Sekiranya generasi muda yang terjatuh dalam jenayah rasuah maka dapat dibayangkan keadaan masa depan Malaysia kelak.\nProses pendidikan dan penanaman kefahaman antirasuah merupakan suatu proses yang panjang. Sehubungan dengan itu, tahap keberkesanan kursus antirasuah pada peringkat pengajian tinggi mungkin boleh ditambah baik dalam mengubah minda dan sikap pelajar terhadap rasuah. Para pelaku rasuah semasa ini menyedari bahawa perilaku tersebut adalah salah, tetapi mereka tetap terus melakukannya. Hal ini menunjukkan terdapat perkara yang tidak kena dengan sikap dan minda mereka. Oleh itu, adakah kursus selama satu semester tersebut mampu mengubah keadaan ini?\nProses pendidikan antirasuah sebaik-baiknya perlu diajarkan secara berperingkat, iaitu sejak peringkat sekolah rendah sehingga ke tahap pengajian tinggi. Pada peringkat tadika, kanak-kanak telah diajarkan asas nilai-nilai moral seperti perbuatan baik atau buruk, dan perkara yang benar atau salah. Asas nilai moral ini akan menjadi dasar pembelajaran pendidikan kursus antirasuah pada peringkat pendidikan yang selanjutnya. Sekiranya pendidikan antirasuah ini diajarkan sejak sekolah rendah, maka apabila mereka menyambung pelajaran sehingga ke peringkat pengajian tinggi, kursus ini akan menjadi mantap dan dapat memberi pengukuhan terhadap sikap antirasuah sehingga dapat menjadi budaya yang wujud dalam diri setiap pelajar di Malaysia. Kejayaan program pendidikan antirasuah ini menjadi tanggungjawab bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Integrasi daripada ketiga-tiga institusi tersebut akan memperkukuh dan memperkasakan proses pendidikan antirasuah dalam kalangan pelajar pada masa hadapan.\nKejayaan proses pendidikan antirasuah ini dipengaruhi juga oleh kematangan tahap perkembangan moral dan kognitif pelajar, serta kaedah pengajaran yang digunakan. Dua orang pakar Psikologi ternama, Jean Piaget dan Lawrence Kohlberg mendakwa bahawa perkembangan moral manusia bersifat universal, bermaksud semua individu tanpa mengira bangsa akan melalui tahap perkembangan moral yang sama dan perkara yang mendasari setiap tahap perkembangan moral ialah konsep moral yang sama seperti kewajipan, keadilan dan tanggungjawab. Berdasarkan teori perkembangan kognitif daripada Jean Piaget dan teori perkembangan moral daripada Lawrence Kohlberg tersebut, dapat disimpulkan bahawa kemampuan kognitif yang dimiliki oleh individu akan mempengaruhi perkembangan moralnya.\nPendidikan antirasuah ini bukan hanya memberikan pengetahuan kepada pelajar, malah\u00a0 tujuan utamanya adalah untuk menanamkan pemahaman dan budaya antirasuah dalam diri dan minda pelajar. Bagi mencapai tujuan ini, maka proses pendidikan antirasuah yang diajarkan kepada pelajar sekolah rendah sehingga pengajian tinggi perlu merangkumi aktiviti mental yang aktif seperti kemampuan berfikir, menaakul, menganalisis, membentuk konsep, menyelesaikan masalah dan sebagainya. Kaedah pengajarannya perlu berbentuk dinamik seperti kombinasi antara kaedah ceramah (15%), simulasi (30%), kajian kes (25%) dan praktikal (30%).\nSelain bertujuan untuk memberikan pengetahuan dan menanamkan budaya serta perilaku antirasuah dalam diri pelajar di Malaysia, tujuan lain pendidikan antirasuah adalah untuk menimbulkan perasaan malu apabila terlibat dengan aktiviti rasuah dalam kalangan pelajar, memiliki harga diri yang tinggi, dan mewujudkan sikap bertanggungjawab serta bermaruah dalam diri pelajar Malaysia. Bagi memastikan pendidikan antirasuah ini benar-benar difahami dan dihayati oleh semua pelajar di negara ini, maka dicadangkan mata pelajaran antirasuah ini dapat dipertimbangkan sebagai satu daripada mata pelajaran wajib lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada masa hadapan.\nTerdapat beberapa perkara penting yang perlu mendapat perhatian bagi kejayaan proses pendidikan antirasuah dalam kalangan pelajar di Malaysia, iaitu kurikulum pengajaran, kaedah pengajaran, dan pengukuran hasil pengajaran. Kurikulum dan kaedah pengajaran ini penting supaya pembelajaran dapat diterima dan difahami oleh pelajar. Pengukuran hasil pengajaran juga penting bagi menilai apakah objektif pembelajaran sudah tercapai, dan untuk mengetahui kaedah pengajaran yang digunakan sama ada tepat dan dapat diterima oleh pelajar.\nUntuk mencapai objektif pendidikan antirasuah dalam kalangan pelajar di Malaysia, dicadangkan konsep pendidikan antirasuah pada pelbagai peringkat pendidikan merangkumi erkembangan moral, kognitif yang dtambah dengan integrasi kurikulum untuk setiap peringkat umur melalui kaedah pengajaran dan pengukuran hasil pembelajaran yang pada akhirnya dipercayai mampu mencipta kejayaan dalam pendidikan antirasuah di Malaysia.\nPada akhirnya, dapat disimpulkan bahawa pendidikan antirasuah yang berkonsepkan integrasi daripada pendidikan sekolah rendah sehingga pengajian tinggi sangat diperlukan pada masa ini dan akan datang bagi menanamkan kesedaran dan pemahaman serta mengubah sikap dan pola fikir belia di Malaysia untuk tidak berkompromi terhadap amalan rasuah. Pemahaman ini juga penting bagi meningkatkan maruah dan martabat Malaysia di mata dunia sebagai satu daripada sebuah negara yang bersih dan bebas daripada rasuah.\nProf. Madya Dr. Yohan Kurniawan, Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK)." "Program SnappEd Meningkatkan Kemenjadian Murid\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 \u201cTransformasi dan evolusi dalam sistem pendidikan masa ini sangat pantas dan bergerak seiring dengan perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0.\u201d\nRaja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa pendidikan merupakan penentu hala tuju pembangunan sesebuah negara pada masa ini dan akan datang untuk maju atau sebaliknya.\nTitah baginda tersebut disampaikan sempena program \u201cSnappEd Chuping Valley Accelerator Educational Programme 2022\u201d yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan pihak SnappEd dari 31 Oktober hingga 4 November 2022 di Auditorium Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Kangar pada hari ini.\nPenganjuran program dilaksanakan buat julung-julung kalinya seumpama ini di Perlis amat relevan dan menyokong Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) yang merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti.\nDalam perutusan program tersebut, melalui TS25, Tuanku Raja Muda Perlis berharap agar sekolah berupaya mengaplikasikan amalan terbaik dalam pelaksanaan pengurusan dan kepimpinan, serta pedagogi dalam pengajaran dan pembelajaran selari dengan hasrat dalam pelan pembangunan pendidikan Malaysia (PPPM) 2013\u20132025.\nProgram SnappEd mampu memberikan peluang dalam inovasi kepada pendidik di Perlis dalam semua peringkat baik di sekolah rendah mahupun menengah demi memastikan kualiti pendidikan di Perlis selaras dengan moto Rakyat Berilmu, Negeri Sejahtera, Perlis Maju.\nTuanku Raja Muda yakin program ini bertepatan dengan matlamat ke arah kemenjadian murid yang dapat dicapai melalui persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan. Menurut baginda lagi, guru yang kompeten dan beraspirasi tinggi ini akan sentiasa bermotivasi mencari penyelesaian dan kaedah pengajaran, serta pembelajaran dengan mencipta amalan baharu yang sesuai dengan keperluan murid demi memastikan mereka bersedia dalam menghadapi dunia realiti yang semakin mencabar." "Penipuan Siber Sasar Golongan Remaja\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJenayah penipuan dalam talian melibatkan pengguna media sosial yang dilaporkan semakin berleluasa pada peringkat global dan di negara ini dengan kerugian berjumlah ribuan juta ringgit dikhuatiri turut menyasarkan golongan remaja dan pelajar di Malaysia. Di Malaysia sendiri, kes penipuan jenayah siber semakin meningkat sejak 2019 hingga bulan Julai lalu dengan mencatatkan 63 723 kes melibatkan kerugian berjumlah RM2 025.8 juta.\nDi samping khalayak dewasa, fenomena ini juga berpotensi melibatkan remaja dan pelajar kerana mereka merupakan pengguna utama media sosial terutamanya melalui telefon bimbit dan pelbagai peranti mudah alih yang kini turut menjadi keperluan dalam proses pembelajaran pada peringkat menengah dan pengajian tinggi. Sebagai pengguna media sosial, mereka berpeluang mengakses pelbagai laman sosial popular termasuk Facebook, Whatsapp dan Instagram yang turut digunakan oleh penjenayah untuk menipu dan menjerat mangsa.\nKetua Polis Negara, Inspektor Jeneral, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani turut bimbang dengan penularan fenomena ini dan menasihatkan golongan remaja dan ibu bapa agar memberikan perhatian terhadap kes ini.\u00a0 Mereka dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai taktik manis yang digunakan penjenayah untuk memancing dan memikat pengguna.\u00a0 \n\u201cHal ini khusus berkaitan dengan urusan jual beli dalam talian, pinjaman mudah atau skim pelaburan yang menjanjikan pulangan yang besar tetapi sebenarnya tidak pernah wujud, malah sesetengahnya menyatakan tawaran yang tidak masuk akal,\u201d jelas Tan Sri Acryl Sani. Beliau turut bimbang dengan sikap pengguna yang terlalu mudah percaya dan terpengaruh dengan pelbagai tawaran tersebut.\nBeliau berkata demikian ketika melancarkan Pameran \u201cPencegahan Jenayah Kewangan dalam Talian\u201d bersama-sama Gabenor Bank Negara, Tan Sri Shamsiah Mohd. Yunus di Kuala Lumpur pada 26 September 2022. Pameran secara maya anjuran Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu bertemakan \u201cJenayah Kewangan: Semak Sebelum Diperdaya\u201d. Pameran itu mendedahkan pelbagai taktik penipuan oleh penjenayah, tips pencegahan dan panduan untuk mangsa penipuan membuat aduan kepada pihak berkuasa. Pengguna boleh melihat sendiri pameran ini dengan melayari laman sesawang Muzium dan Galeri Seni Bank Negara melalui www.museum.bnm.gov.my.\nSelain memaklumkan kepada masyarakat umum mengenai jenayah itu, Tan Sri Nor Shamsiah berharap pengguna termasuk pelajar dan remaja juga sentiasa berusaha meningkatkan kewaspadaan bagi mengelakkan diri daripada diperdaya dan menjadi mangsa penjenayah kewangan termasuklah tidak terlalu percaya dan berusaha mengawal nafsu daripada mudah terpengaruh dengan iklan jualan barangan dalam talian yang menawarkan pelbagai ganjaran yang memikat hati tetapi sebenarnya tidak benar dan tidak pernah wujud.\n\u201cSyarikat palsu yang tidak berdaftar itu kebiasaannya menawarkan jualan sesuatu barangan \u00a0pengguna termasuklah pelbagai peranti, komputer riba, telefon bimbit, kamera dan peralatan sukan dengan harga yang menarik dan meminta pelanggan memasukkan jumlah wang tertentu sebagai syarat tempahan, tetapi pada kebiasaannya setelah lama ditunggu, produk yang dipesan tidak pun sampai ke tangan mereka,\u201d jelas beliau. Selain barangan, mereka juga gemar mengiklankan produk penjagaan kesihatan, pakej percutian dan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan tetapi sebenarnya palsu.\nBagi mengelakkan masyarakat daripada mudah terpedaya dan menjadi mangsa, Tan Sri Nor Shamsiah berkata, Bank Negara menyarankan semua pengguna agar sentiasa berpegang kepada kata kunci 3S iaitu, Soal, Sekat dan Sebar. Pertama, \u2018soal\u2019 setiap perkara yang meragukan serta \u2018sekat\u2019 diri daripada melakukan langkah seterusnya seperti yang diarahkan sekiranya melibatkan transaksi kewangan yang mencurigakan, dan seterusnya \u2018sebar\u2019 maklumat kepada keluarga dan rakan untuk dikongsi bersama-sama serta melaporkan kepada pihak berkuasa melalui saluran yang disediakan untuk tindakan selanjutnya.\nMemandangkan kebanyakan golongan muda dan pelajar turut memiliki pelbagai peranti mudah alih, beliau menasihatkan ibu bapa agar turut memantau, mengawasi dan menasihati anak masing-masing agar tidak mudah terpengaruh dengan penipuan ini. Bagi beliau, pendekatan dua hala dengan sifat saling memperingatkan dan memberikan nasihat sebegini lebih baik agar masing-masing sentiasa berwaspada.\n\u201cHal ini dikatakan demikian kerana walaupun kebanyakan ibu bapa memiliki telefon mudah alih dan peranti yang lain, tetapi tahap pemahaman mereka tentang penggunaannya masih sederhana dan dikhuatiri dimanipulasikan oleh penjenayah untuk mengambil kesempatan,\u201d\u00a0 ulas Tan Sri Nor Shamsiah. Beliau turut menyeru generasi muda yang terdedah kepada pelbagai maklumat mengenai taktik penjenayah ini melalui peranti elektronik mereka \u00a0agar memaklumkannya kepada ahli keluarga masing-masing terutamanya ibu bapa sendiri \u00a0mengenainya supaya lebih berhati-hati.\nSama ada ibu bapa atau generasi muda sendiri, sekiranya terlibat sebagai mangsa penipuan, mereka bolehlah membuat aduan dan laporan di balai polis berhampiran serta segera menghubungi bank yang berkaitan. \u00a0Mereka juga perlu memaklumkan ke Pusat Aduan \u201cScam\u201c melalui nombor telefon 03-2610 1599 atau 03-2610 1559. Pengadu juga boleh menghubungi BNMLINK melalui telefon 1-300-88-5465 atau membuat aduan secara bertulis kepada BNMTELELINK, Bank Negara Malaysia, Peti Surat 10922, 50929 Kuala Lumpur.\nSelain perlu berhati-hati bagi mengelakkan penipuan, Bank Negara dan PDRM juga turut mengingatkan masyarakat agar berwaspada dengan tidak mendedahkan maklumat peribadi mereka termasuk nombor akaun bank dan kata laluan yang diminta oleh penjenayah melalui taktik halus. Mereka juga kebiasaannya akan diminta memindahkan sejumlah wang tertentu melalui akaun \u201ckeldai\u201d yang berselindung di sebalik nama dan nombor akaun pengguna lain yang sebenarnya juga ditipu. Hal ini bagi mengelakkan identiti diri mereka dikesan oleh pihak berkuasa.\nYang paling penting, pengguna perlu bersikap bijak dengan membuat semakan dan memastikan kesahihan serta sentiasa berusaha melindungi diri mereka daripada diperdaya dan terus meningkatkan kewaspadaan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penjenayah kewangan melalui siber." "Eksplorasi Dunia dengan Amalan Membaca\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNilai \u2013 \u201cBagi mencapai status negara maju, masyarakatnya haruslah menjadi masyarakat yang membaca,\u201d demikian petikan ucapan Ketua Editor Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Rosmani Omar ketika Majlis Perasmian Penutupan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Politeknik Nilai pada pagi ini.\nTambah beliau, dari aspek penerbitan buku di Malaysia, negara kita hanya menerbitkan 13 655 judul buku pada tahun 2021 berbanding dengan tahun sebelumnya, iaitu sebanyak 15 080 judul buku. Penurunan jumlah penerbitan tersebut berkait rapat dengan usaha kita mempergiat penerbitan buku dan memartabatkan ilmu bagi melahirkan masyarakat membaca.\n\u201cSetelah 66 tahun penubuhannya, DBP telah merangka pelan strategi yang jitu, iaitu Pelan Strategi DBP 2021 \u2013 2025 sebagai usaha untuk melestarikan bahasa dan persuratan Melayu dengan menekankan tiga strategi utama, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu menjadi bahasa negara dan bahasa Melayu menjadi bahasa ekonomi,\u201d ujar YBrs. Dr. Rosmani Omar ketika mengulas dengan lebih lanjut tentang peranan DBP dalam memartabatkan ilmu dan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.\nTidak dapat dinafikan bahawa penerbitan pada masa ini telah mengalami transformasi yang seiring dengan dunia digital. Oleh itu, DBP juga tidak ketinggalan dengan memperkenalkan JendelaDBP yang menyediakan bahan penerbitan dan juga siaran televisyen serta radio penstriman yang boleh diakses oleh masyarakat pada bila-bila masa. Melalui JendelaDBP, pembaca dapat membaca artikel dan berita yang berkonsepkan isu semasa, sekali gus dapat menambahkan ilmu pengetahuan dalam kalangan masyarakat.\nCabaran pembacaan dalam era digital turut dikupas oleh Pengarah Politeknik Nilai, YBrs. Tuan Haji Wan Zulkifly Wan Zakaria ketika menyampaikan ucapan alu-aluan. Beliau mengatakan bahawa masyarakat pada masa ini lebih memilih bahan bacaan secara dalam talian atau digital. Situasi tersebut dapat dilihat apabila terdapat dalam kalangan syarikat penerbitan buku dan surat khabar yang tidak dapat meneruskan lagi operasi mereka dalam bidang penerbitan kerana bersaing dengan medium tersebut.\nSempena Program Dekad Membaca Kebangsaan, terdapat pelbagai program dan aktiviti telah dilaksanakan untuk menyemarakkan minat membaca dalam kalangan pelajar di Politeknik Nilai. Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah Pertandingan Deklamasi Sajak, Pertandingan Seni Coret (Doodle) dan Pertandingan Membaca Berita. Aktiviti Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Politeknik Nilai tersebut merupakan usaha kerjasama antara Kementerian Pengajian Tinggi dan Politeknik Nilai dengan DBP. Aktiviti tersebut berjaya menarik minat para pelajar tanpa mengira bangsa. Bersempena dengan Majlis Perasmian Penutupan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Politeknik Nilai tersebut juga turut diadakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang dan penerima sagu hati bagi setiap aktiviti yang dipertandingkan.\nMenurut YBrs. Tuan Haji Wan Zulkifly, aktiviti tersebut dapat membantu usaha memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar dan warga Politeknik Nilai. Hal ini dikatakan demikian kerana sekiranya kita melihat data yang dikeluarkan oleh World Culture Score Indeks, purata rakyat Malaysia membaca dalam tempoh seminggu ialah tiga jam dan purata tersebut jauh ketinggalan sekiranya dibandingkan dengan negara lain. Oleh itu, pembudayaan membaca dalam kalangan masyarakat harus dipergiat kerana melalui pembacaan, masyarakat berupaya mengeksplorasi dunia.\nTurut hadir dalam Majlis Perasmian Penutupan DMK Peringkat Politeknik Nilai pada pagi ini ialah Timbalan Pengarah Politeknik Nilai, YBrs. Encik Zainal Ab Rahman, Timbalan Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, Puan Aninah Janang, pensyarah dan pegawai dari Politeknik Nilai dan DBP, serta pelajar Politeknik Nilai." "Antara \u201cMesti\u201d\u00a0dengan \u201cPasti\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata mesti\u00a0dan pasti\u00a0merupakan dua perkataan yang sering mengelirukan pengguna bahasa Melayu. Dari segi maksudnya, kata mesti\u00a0bererti wajib atau must\u00a0dalam bahasa Inggeris. Kata mesti\u00a0tergolong dalam kata bantu ragam. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a. \u00a0Dia mesti berusaha untuk lulus.\n1b. \u00a0Dia mesti ke kampung pada hujung minggu ini.\n1c. \u00a0Dia mesti tabah untuk menghadapi cabaran.\nDalam ayat 1a, kata bantu ragam mesti\u00a0dikaitkan dengan kata kerja berusaha. Dalam ayat 1b, kata bantu ragam mesti\u00a0dikaitkan dengan frasa sendi nama ke\u00a0kampung. Dalam ayat 1c, kata bantu ragam mesti\u00a0dikaitkan dengan kata adjektif tabah.\n2a. \u00a0Kita mesti menghormati ibu bapa.\n2b. \u00a0Kita wajib menghormati ibu bapa.\n\u00a0\n3a. \u00a0Perkara ini wajib.\n3b. \u00a0*Perkara ini mesti.\nDalam ayat 2a, kata mesti\u00a0bererti \u201cwajib\u201d, seperti dalam ayat 2b. Walau bagaimanapun, kata mesti\u00a0tidak dapat menggantikan kata wajib\u00a0dalam kelompok ayat 3. Hal ini berlaku demikian kerana dalam ayat 3a, kata wajib\u00a0ialah kata adjektif.\nKata mesti\u00a0boleh ditambah imbuhan untuk mendukung maksud tertentu. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n4a. \u00a0Sudah semestinya dia akan menolak cadangan itu.\n4b. \u00a0Sudah pasti dia akan menolak cadangan itu.\n4c. \u00a0*Sudah mesti dia akan menolak cadangan itu.\n\u00a0\n5a. \u00a0Orang Islam dimestikan berpuasa pada bulan Ramadan.\n5b. \u00a0Orang Islam mesti berpuasa pada bulan Ramadan.\n\u00a0\n6a. \u00a0Menghormati ibu bapa merupakan kemestian anak.\n6b. \u00a0Menghormati ibu bapa merupakan kewajipan anak.\nDalam ayat 4a, kata semestinya\u00a0sama erti dengan maksud kata\u00a0pasti\u00a0dalam ayat 4b, tetapi berbeza daripada maksud kata mesti\u00a0dalam ayat 4c. Maksud kata dimestikan\u00a0dalam ayat 5a sama dengan kata mesti\u00a0dalam ayat 5b. Dalam kelompok ayat 6, kata kemestian\u00a0sama maksud dengan kata kewajipan.\nKata pasti\u00a0mempunyai dua fungsi, iaitu sebagai kata bantu ragam dan kata adjektif. Sebagai kata bantu ragam, kata pasti\u00a0bererti \u201ctentu\u201d, dan penggunaannya adalah seperti contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n7a. \u00a0Dia pasti akan membantu kita.\n7b. \u00a0Dia pasti ke pejabat nanti.\n7c. \u00a0Dia pasti yakin ketika berucap nanti.\nDalam ayat 7a, kata bantu ragam pasti\u00a0dikaitkan dengan frasa kerja akan membantu kita. Dalam ayat 7b, kata bantu ragam pasti\u00a0dikaitkan dengan frasa sendi nama ke pejabat. Dalam ayat 7c, kata bantu ragam pasti dikaitkan dengan kata adjektif yakin.\nSebagai kata adjektif yang bererti \u201ctentu\u201d atau \u201cjelas\u201d, contoh ayatnya adalah seperti yang berikut:\n8a. \u00a0Perkara itu belum pasti lagi.\n8b. \u00a0Perkara itui belum tentu lagi.\n8c. \u00a0Perkara itu belum jelas lagi.\nPersamaan dan perbezaan antara kata mesti\u00a0dengan kata pasti\u00a0dari segi fungsi dan makna dapat digambarkan seperti yang berikut:\n9a. \u00a0Semua anak mesti menghormati ibu bapa.\n9b. \u00a0Semua anak pasti menghormati ibu bapa.\nDalam kelompok ayat 9, kedua-dua kata mesti\u00a0dan pasti\u00a0berfungsi sebagai kata bantu ragam. Dalam ayat 9a, kata mesti\u00a0bererti \u201cwajib\u201d, tetapi dalam ayat 9b, kata pasti\u00a0bererti \u201ctentu\u201d atau \u201cjelas\u201d. Dari segi hakikatnya, maksud ayat 9a betul kerana penghormatan terhadap ibu bapa sememangnya merupakan kemestian yang dituntut oleh semua agama dan masyarakat. Namun demikian, maksud ayat 9b tidak semestinya benar kerana memang ada anak yang tidak menghormati ibu bapa mereka.\n10a. \u00a0Dia amat pasti tentang hala tuju hidupnya.\n10b. \u00a0*Dia amat mesti tentang hala tuju hidupnya.\nMaksud ayat 10a tepat, iaitu \u201cDia sangat jelas tentang hala tuju hidupnya\u201d. \u00a0Sebaliknya, ayat 10b kurang bererti.\n11a. \u00a0Sudah semestinya dia mahu turut serta.\n11b. \u00a0*Sudah sepastinya dia mahu turut serta.\nAyat 11a betul kerana kata semestinya\u00a0bererti \u201cpasti\u201d. Namun demikian, kata sepastinya\u00a0(ayat 11b) tiada dalam bahasa Melayu.\n12a. \u00a0Belum ada kepastian bahawa dia akan berubah.\n12b. \u00a0Taat setia kepada negara merupakan kemestian.\nDalam ayat 12a, kata kepastian\u00a0bererti \u201cketentuan\u201d, manakala dalam ayat 12b, kata kemestian\u00a0bererti kewajipan.\nDalam ayat 13, kata ketidakpastian\u00a0bererti \u201cketidaktentuan\u201d. Setakat ini, belum ada kata ketidakmestian\u00a0dakam bahasa Melayu.\n14a. \u00a0Dia sangat pasti tentang hal itu.\n14b. \u00a0Dia pasti benar tentang hal itu.\nDalam kelompok ayat 14, kata adjektif pasti\u00a0dapat digandingkan dengan kata penguat seperti sangat\u00a0dan benar. Sebaliknya, kata mesti\u00a0tidak dikaitkan dengan sebarang kata penguat.\n15a. \u00a0*Dia mesti mesti dalam hal ini.\n15b. \u00a0Dia pasti pasti dalam hal ini.\nKata mesti\u00a0tidak boleh diulang dalam ayat. Dalam ayat 15b, kata pasti\u00a0yang pertama ialah kata bantu ragam yang bererti \u201ctentu\u201d, manakala kata pasti\u00a0yang kedua ialah kata adjektif yang bererti \u201cjelas\u201d atau \u201ctentu\u201d." "Industri Penerbangan Kembali Bersaing\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIndustri penerbangan merupakan pemacu ekonomi global yang menyokong lebih 58 juta pekerjaan dan AS$2.4 trilion menerusi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global. Satu pertiga daripada semua perdagangan global dihantar melalui udara, menjadikan penerbangan sebagai komponen utama perniagaan global. Di Asia Pasifik, industri penerbangan telah mewujudkan sebanyak 34 juta pekerjaan serta aktiviti ekonomi bernilai A.S.$700 bilion dan ini dijangka menokok lebih daripada dua kali ganda dalam tempoh 20 tahun akan datang.\nDi Malaysia, industri penerbangan dijangka menyumbang kira-kira A.S.$1.97 bilion secara langsung kepada negara dan memberi hasil sebanyak AS$6.3 bilion kepada industri pelancongan. Industri penerbangan di Malaysia menyumbang kira-kira 3.3 peratus kepada KDNK dengan mencipta lebih 460 000 peluang pekerjaan. Oleh itu, pengangkutan udara merupakan pemacu kepada perdagangan antarabangsa dan membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi. Daripada perniagaan yang pelbagai terutamanya e-dagang dalam rantaiannya secara tidak langsung mampu meningkatkan perolehan dalam industri penerbangan.\nPengumuman kelonggaran merentas negeri dan pembukaan banyak sektor pelancongan dilihat memberi \u2018nyawa\u2019 kepada industri penerbangan negara, lalu membolehkan pesawat untuk kembali terbang tinggi. Sudah pasti hal tersebut menjadi khabar gembira buat semua pemain industri penerbangan negara yang terjejas teruk sejak kemunculan pandemik COVID-19. Dua tahun lalu, paparan imej deretan pesawat tersadai di serata lapangan terbang negara susulan sekatan perjalanan dan penutupan sempadan demi membendung penularan COVID-19, terbukti menjadi realiti permulaan buruk untuk industri penerbangan negara. Keadaan ini disusuli dengan permintaan yang menjunam selepas negara di seluruh dunia dilanda gelombang kedua, ketiga malah ada yang mencecah gelombang keempat jangkitan virus COVID-19 yang terus menyukarkan lagi prospek untuk perjalanan udara kembali beroperasi.\n\nBerikutan itu, aliran pendapatan menjadi lumpuh, barisan tenaga kerja diarah bercuti daripada tugas masing-masing, lapangan terbang ditutup, penghantaran pesawat baharu ditangguhkan manakala pengeluaran pesawat turut digantung. Ironinya, ketika beberapa sektor dan industri lain mula menampakkan sinar baharu atau pulih sepenuhnya, keadaan ternyata sebaliknya untuk industri penerbangan yang dilihat belum bernasib baik. Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), syarikat penerbangan global dianggarkan mengalami kerugian sehingga A.S$84.3 bilion, sekali gus menjadikan 2020 sebagai tahun terburuk dalam sejarah penerbangan dunia.\nIndustri penerbangan negara dianggarkan mengalami kerugian sekitar RM13 bilion pada 2020, termasuk kerugian RM10.9 bilion yang ditanggung syarikat penerbangan tempatan Malaysia Airlines Bhd, Air Asia Group Bhd dan Malindo Airways Sdn Bhd. Menurutnya, pengendali lapangan terbang seperti Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd pula dianggarkan mencatat kerugian berjumlah RM2.1 bilion pada 2020. Dari segi sejarahnya, peristiwa yang berlaku terhadap industri penerbangan adalah yang terburuk pernah terjadi. Realitinya, ketika banyak industri lain meniti proses pemulihan berikutan pelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), industri penerbangan negara masih tidak menentu dari segi tempoh untuk membolehkannya terbang semula berikutan pasaran domestik yang tidak memadai untuk mengekalkan kelangsungannya.\nNamun kini, prospek industri penerbangan semakin baik dan dilihat telah kembali menemui rentak kebangkitan dan dilihat beransur-ansur bangkit dengan jumlah penumpang pesawat mula melonjak apabila banyak negara mula menerima kehadiran pengembara. Lonjakan pergerakan penumpang antarabangsa dicatatkan di lapangan terbang seluruh negara berikutan permintaan lebih tinggi selepas pembukaan semula sempadan dan syarikat penerbangan yang giat menyambung semula laluan penerbangan antarabangsa. membayangkan prospek memberangsangkan bagi industri penerbangan negara untuk mencatatkan pemulihan lebih cepat. Jumlah trafik penumpang di lapangan-lapangan terbang seluruh negara telah meningkat lebih enam kali ganda kepada 20.25 juta orang penumpang pada separuh pertama 2022.\nPada Jun 2022, jumlah pergerakan trafik penumpang Malaysia berjumlah 4.54 juta orang penumpang yang membentuk 63 peratus daripada jumlah pergerakan penumpang yang mencecah 7.21 juta. Secara keseluruhannya, Malaysia merekodkan 1.29 juta orang penumpang trafik antarabangsa, manakala trafik domestik ialah 3.24 juta orang penumpang dalam separuh pertama 2022. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa industri penerbangan berada di landasan yang tepat untuk mencatatkan lebih penambahbaikan dari semasa ke semasa.\nPertumbuhan jumlah penumpang di rantau Asia Pasifik juga diramalkan akan mewakili 53 peratus pertumbuhan global dalam tempoh dua tahun akan datang. Pada 2040, Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) meramalkan pusat penerbangan akan beralih ke bahagian timur apabila tujuh daripada 10 buah negara bagi pegangan pasaran penumpang global datang dari wilayah Asia Pasifik. Dengan kemudahan perhubungan syarikat penerbangan yang kukuh dan penawaran yang lebih meluas ke lebih 130 \u00a0buah destinasi di seluruh dunia, ditambah lagi dengan kelebihan geografi yang terletak di tengah-tengah rantau Asia Pasifik, Malaysia bersedia memanfaatkan pertumbuhan ini. Malaysia juga mempunyai kelebihan apabila menawarkan perkhidmatan syarikat penerbangan tempatan dan luar negara dengan menawarkan penerbangan kos rendah dan penuh, sekali gus meletakkan negara ini pada landasan kukuh sebagai hab yang kukuh dan berdaya saing.\nWalau bagaimanapun, kos perniagaan dan penyelenggaraan boleh memberikan cabaran besar kepada pemain industri terutamanya syarikat penerbangan, dari segi tempoh berlakunya pemulihan keuntungan. Harga bahan api jet yang lebih tinggi bermaksud, terdapat keperluan untuk melindung nilai harga bahan api. Harus diingat, lindung nilai turut memerlukan kos. Selain itu, inflasi yang meningkat bermakna, pelancong Malaysia akan menjadi lebih berkira-kira dengan perancangan perjalanan mereka. Isu kekurangan pelancong domestik ke Langkawi dan kecenderungan pelancong Malaysia melancong ke Thailand serta kenaikan harga tambang ke Sarawak dan Sabah menjelang Pilihan raya Umum ke-15 adalah \u2018gangguan\u2019 kepada rentak kebangkitan yang harus diberikan perhatian oleh pemain industri. Gangguan kepada rentak kebangkitan ini turut boleh menjejaskan pelbagai industri lain. Syarikat penerbangan secara jelasnya tidak terlindung daripadanya. Oleh itu, permintaan merupakan kunci kepada kejayaan syarikat penerbangan. Namun, terdapat faktor pemangkin lain yang boleh menjejaskan prestasi keseluruhan industri yang diunjurkan untuk pulih sepenuhnya pada 2024.\nMenurut Ketua Pengarah IATA, syarikat penerbangan berdaya tahan dan orang ramai terbang dalam jumlah yang lebih besar. Kargo menunjukkan prestasi yang baik walaupun dengan latar belakang ketidaktentuan ekonomi yang semakin jelas meningkat. Perkara yang penting ialah prasarana sedia ada mampu meningkatkan kecekapan dan prestasi ketepatan masa sekali gus membolehkan syarikat penerbangan meningkatkan jumlah penerbangan pada satu-satu masa. Situasi ini akan memberi potensi dalam usaha pengembangan operasi syarikat di lapangan terbang kami dan menyumbang kepada pertumbuhan industri penerbangan tempatan secara keseluruhannya.\nKerajaan menyedari cabaran-cabaran yang dihadapi oleh industri penerbangan tempatan, sekali gus mencari kaedah untuk membantu industri tersebut menanganinya, terutamanya dari segi mengembangkan dan mengekalkan perniagaan. Industri penerbangan disifatkan sebagai antara pemacu utama untuk mendorong pertumbuhan ekonomi Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-12. Selepas pembukaan semula sektor ekonomi, amat penting bagi Kerajaan Persekutuan merangsang kembali pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan dalam sektor strategik seperti industri penerbangan.\nPada masa akan datang, pertumbuhan industri penerbangan Malaysia dijangka terus mendapat sokongan daripada aktiviti sosial dan ekonomi yang teguh, serta permintaan domestik dan asing yang kukuh berikutan peralihan negara ke fasa endemik COVID-19 dan pembukaan semula sempadan antarabangsa. Momentum pertumbuhan industri penerbangan diunjurkan kekal kukuh pada suku keempat 2022 dengan dipacu oleh kemajuan yang memberangsangkan dalam sektor pelancongan dan perdagangan luaran." "Pertandingan Sudut Bacaan\u00a0Wadah Pembudayaan Tradisi Ilmu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu \u2013 Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Sudut Bacaan Jabatan/Agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah Tahun 2022 telah disempurnakan oleh Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah, pada 26 Oktober 2022 di Reruai, DBP Cawangan Sabah.\nBersempena dengan kempen Dekad Membaca Kebangsaan (DMK), penganjuran bersama antara Pejabat Setiausaha Kerajaan Persekutuan dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah adalah untuk menyedarkan dan menarik minat terhadap budaya membaca dalam pelbagai lapisan masyarakat.\nMenurut Puan Aminah dalam ucapan alu-aluannya, pertandingan ini mula dilaksanakan pada tahun 2019 dengan kategori Jabatan/Agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah.\nSebanyak 15 buah jabatan/agensi di sekitar Kota Kinabalu dan Tuaran menyertai pertandingan ini dan sesi penilaian melalui kunjungan ke jabatan/agensi yang dilaksanakan pada 20 hingga 22 September 2022.\nPertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Cawangan Sabah telah dinobatkan sebagai penerima tempat pertama dengan menerima hadiah bernilai RM1500, serta sijil penyertaan.\nBagi tempat kedua pula dimenangi oleh Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Sabah dengan hadiah bernilai RM1000 dan sijil penyertaan, manakala Kementerian Pertahanan Malaysia Cawangan Sabah pula berjaya meraih tempat ketiga dengan membawa pulang hadiah bernilai RM500 berserta sijil penyertaan.\nHadiah sagu hati bernilai RM300 dan sijil penyertaan disandang oleh\u00a0 Institut Pendidikan Guru Kampus Kent, Penjara Wanita Kota Kinabalu dan INTAN Kampus Sabah. Pada masa yang sama, sebanyak sembilan buah jabatan/agensi turut menerima sijil penyertaan dan sumbangan buku terbitan DBP.\nTerdahulu, pada tahun 2020 pula, akibat negara dilanda pandemik COVID-19, pertandingan tersebut telah dilaksanakan secara dalam talian dengan kategori Sudut Bacaan di Rumah. Pada tahun 2021, pertandingan ini diteruskan secara dalam talian dengan kategori Sekolah Jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Kota Kinabalu." "DMK Peringkat Negeri Sabah Menyantuni Kanak-kanak di SDH\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKOTA KINABALU \u2013 \u00a0Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) Peringkat Negeri Sabah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah turut menyantuni warga Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas pada\u00a018 Oktober 2022 dengan menceriakan dunia kanak-kanak yang tidak dapat meneruskan persekolahan biasa kerana menerima rawatan susulan mahupun yang terpaksa meninggalkan persekolahan dalam tempoh masa yang lama kerana penyakit kronik. Kanak-kanak yang menyertai Sekolah Dalam Hospital (SDH) ini biasanya terdiri dalam kalangan pesakit Wad Pediatik dan yang menerima rawatan harian di pusat rawatan talasemia. \nPada kali ini, DBP Cawangan Sabah melihat program ini perlu diperluas ke hospital-hospital yang mempunyai Sekolah Dalam Hospital demi kelestarian ilmu anak bangsa. Pengarah Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas, YBhg. Dr. Marcus Netto dalam ucapan beliau amat berterima kasih dan menghargai usaha murni ini dan turut mengalu-alukan pelbagai program DBP bersama-sama Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas akan berterusan dan beliau juga menyokong penuh program Dekad Membaca Kebangsaan ini perlu diterapkan dari kecil. \nPuan Aminah Awang Basar selaku Pengarah DBP Cawangan Sabah dalam ucapannya berharap program seumpama ini selain sebagai usaha untuk menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat, Wakaf Buku DBP juga turut menggalakkan pewujudan sudut bacaan dalam membantu memperbanyak bahan bacaan. Kali ini DBP Cawangan Sabah memilih Hosputal Wanita dan Kanak-kanak Likas dengan harapan bahan bacaan tersebut menjadi terapi kepada kanak-kanak dan penjaga mereka.\nYang turut serta dalam majlis tersebut ialah YBhg. Puan Zellina Abdul Rahman, Timbalan Pengarah, Bahagian Pengurusan Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas; YBhg. Dr. Christine Lu Shin Yeen, Timbalan Pengarah Klinikal; YBhg. Dr. Fong Siew Moy, Ketua Jabatan Pediatik; \u00a0Puan Amrata \u00a0Kumbayat, Penyelia Jururawat Jabatan Pediatik, Encik Asfar Abdul Hamid;\u00a0Penyelia Sekolah dalam Hospital, Puan Sapiah Abdul Sunnat; dan \u00a0Ketua Unit Perpustakaan, Kanak-kanak dari Wad Pediatik Bersama-sama dengan penjaga." "SKAW Mengadakan Lawatan ke Kem Thailand Buat Pertama Kali\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Tentera Darat Malaysia Siri 33/2022 buat julung-julung kalinya mengadakan program antarabangsa apabila komander dibawa melawat ke Kem 5 Briged Task Force Royal Thai Army di Sadoa, Thailand.\nKehadiran mereka disambut baik dan taklimat turut disampaikan oleh kepimpinan tertinggi Divisyen ke-5 Infrantri Royal Thai Army, Mejar Jeneral Woradet Detrugsa yang diiringi Pegawai memerintah Senior Colonel, Tanitpon Hongwilai dan Kolonel Jatuporn Taneepat.\nDalam pada masa itu, lawatan kem tersebut turut disertai Duta besar Malaysia, Dato\u2019 Jojie Samuel dan Penasihat Pertahanan di Kedutaan Besar Malaysia-Bangkok, Brigedier Jeneral Samsul Rizal Musa yang juga ketua penyelaras bagi lawatan itu dengan kerjasama Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan juga Penasihat Pertahanan di Kedutaan Besar Thailand di Kuala Lumpur.\nSelain dapat menjalinkan hubungan yang lebih baik antara komander dengan pegawai tentera negara jiran tersebut, lawatan itu juga memberikan gambaran yang lebih dekat berhubung rutin dan persekitaran bekerja di kem tentera di Thailand.\nMalah, program itu juga dapat menggalakkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Thailand.\nSemua komander yang hadir perlu berusaha keras bagi meningkatkan martabat Askar Wataniah agar sentiasa dihormati dan disegani oleh masyarakat.\nDengan usaha yang jitu, Askar Wataniah akan terus berkembang sejajar dengan Pembangunan Jangka Panjang Tentera Darat iaitu Army For Next Generation (Army 4NextG) dan Pelan Strategik Hala Tuju Askar Wataniah 2022\u20132030.\nBukan itu sahaja, kemuncak program pada kali ini adalah majlis sembah mengadap ke atas Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid yang disusuli dengan undangan menghadiri Majlis Santapan DiRaja yang diadakan di Balai Bankuasi Istana Arau pada jumaat malam.\nPada sidang kali ini, negeri Perlis menjadi tuan rumah SKAW yang diketuai sendiri oleh Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diberi pujian majoriti peserta dengan perancangan dan perlaksanaan yang baik sebagai penanda aras bagi penganjuran siri persidangan yang akan datang.\nRejimen 504 Askar Wataniah melalui Timbalan Komandernya Leftenan Kolonel Lasahi Laiji dan seluruh warganya juga turut mendapat kerjasama dan sokongan padu daripada Kerajaan Negeri serta pelbagai agensi Negeri dan Persekutuan termasuklah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), pihak swasta serta formasi setempat." "Sebanyak 6611 Mahasiswa Terima Ijazah Ahad Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAlor Setar \u2013 Sebanyak 6611 graduan tahun 2021 bakal menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen Ke-34 Universiti Utara Malaysia (UUM) yang akan berlangsung selama lima hari di Dewan Mu\u2019adzam Shah, UUM.\nNaib Canselor UUM, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, 70 peratus graduan adalah dalam kalangan B40 atau pelajar susah, malah ada yang tinggal di pedalaman dan mereka mempunyai kisah luar biasa dalam perjalanan menggenggam ijazah demi mengubah nasib dan masa depan.\n\u201cUniversiti berjaya mengeluarkan mereka daripada kemiskinan dan saya yakin cerita sebegini jika diangkat dalam media akan memberikan inspirasi kepada beribu-ribu lagi mereka yang sedang belajar kerana media mempunyai sentuhan luar biasa.\n\u201cSaya harap rakan media sentiasa bersama-sama UUM. Kita merupakan sebahagian atau satu daripada anggota untuk membangunkan anak bangsa,\u201d ucapnya pada sidang media sempena Majlis Konvokesyen Ke-34 UUM di Dewan Mayang Emas, The Jerai Hotel, Alor Setar, pagi tadi.\nUjarnya, daripada jumlah graduan (tidak termasuk penerima Ijazah Kehormat) berkenaan, 5537 merupakan graduan sarjana muda dan 1074 graduan pascasiswazah.\nDaripada jumlah graduan pascasiswazah, sebanyak 227 merupakan graduan Ijazah Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan (2), Doktor Pentadbiran Perniagaan (30), Ijazah Sarjana (691) dan Diploma Pascasiswazah (124).\nMajlis konvokesyen ini juga meraikan 393 graduan antarabangsa dari 28 negara, yakni Indonesia mencatatkan jumlah teramai, iaitu 117 graduan, diikuti China (82) dan Pakistan (43).\n\u201cMajlis konvokesyen ini menyaksikan seramai 868 graduan (13.12%) dari Ijazah Sarjana Muda mendapat Ijazah Kelas Pertama.\n\u201cKita turut menyatakan kegembiraan bahawa pencapaian kebolehpasaran graduan (GE) UUM telah mencapai 84 peratus, sekali gus meletakkan satu standard yang baik kepada para majikan,\u201d ujarnya.\nPada majlis konvokesyen kali ini, UUM mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Pembangunan ICT) kepada Tan Sri Dr. Halim Shafie dan Ijazah Kehormat Sarjana (Pengurusan Operasi) kepada Dato\u2019 Che Azmi Murad.\nCanselor UUM, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah akan menyampaikan ijazah kehormat kepada kedua-dua tokoh tersebut pada sesi pertama, 6 November 2022 (Ahad).\nDalam perkembangan yang sama, seramai 955 graduan dipilih untuk menerima 31 anugerah utama universiti, termasuklah anugerah baharu diperkenalkan, iaitu Anugerah Kecemerlangan PTPTN.\nSempena Majlis Konvokesyen UUM Ke-34, Pesta Konvokesyen (PESKON) dengan tema \u201c#INIUUMKITA: Kenangan Tercipta\u201d akan berlangsung dari 3 hingga 11 November 2022 mulai pukul 9.00 pagi hingga 11.00 malam di Tapak Ekspo, Padang Kawad PALAPES dan sekitar UUM." "UiTM Cawangan Perlis Tingkat Kerjasama dengan Korea Selatan dalam Bidang Sains Sukan dan Rekreasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah menerima kunjungan rasmi daripada delegasi Korean Institute of Sports Science (KISS), Dr. Hyunjoo Cho dan Cik Kim Yoola melalui kerjasama antara FSR UiTM, Institut Sukan Negara (ISN) dan Korea Sports Promotion Foundations (KSPO) pada 30 Oktober 2022 yang lalu.\nKunjungan rasmi tersebut diadakan untuk membincangkan tentnag peluang kerjasama dalam bidang sukan dan kesihatan sebagai satu daripada usaha membentuk kolobrasi antarbangsa melalui Official Development Assistance (ODA).\nSesi perbincangan ini diketuai oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, UiTM Cawangan Perlis, Profesor Ts. Dr. Mohd Azlan Mohd Ishak; Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, dan Alumni, Ts. Gs. Dr. Ernieza Suhana Mokhtar; Ketua Pusat Pengajian FSR, Dr. Harris Kamal Kamaruddin, serta barisan pensyarah FSR UiTM Cawangan Perlis.\nSelain memberikan penerangan dan pengenalan tentang kampus, pihak UiTM juga mengambil peluang yang ada untuk mempromosikan dua persidangan yang bakal dianjurkan pada tahun 2023, iaitu The\u00a06th International Innovation, Design and Articulation (i-IDeA) dan International Sports Science Conference (ISSC).\nProgram diteruskan dengan sesi perkongsian tentang fungsi dan peranan KISS terutamanya dalam perkembangan sukan dan kesihatan di Korea Selatan yang disampaikan oleh Dr. Hyunjoo Cho. Sesi taklimat yang dihadiri oleh pensyarah dan 120 orang pelajar FSR UiTM Cawangan Perlis ini merupakan platform untuk memberikan pendedahan terhadap kepentingan dan keperluan sukan untuk memenuhi objektif Sustainable Development Goals (SGD).\nDalam pada masa yang sama, pihak KISS juga dibawa melawat ke semua makmal FSR seperti Makmal Kecergasan, Makmal Kesihatan, Makmal Rekreasi dan Makmal Fisiologi. Lawatan tapak tersebut adalah untuk memberikan gambaran yang jelas kepada pihak KISS dan KSPO tentang makmal yang sedia ada yang boleh digunakan untuk pembangunan projek dan kajian yang telah dicadangkan. Sesi lawatan ini juga menunjukkan kesediaan dan komitmen pihak universiti untuk pelaksanaan projek kolaborasi ini. Diharapkan agar kunjungan ini akan memberikan impak dan kesan yang baik kepada kedua-dua institusi ini untuk kerjasama yang akan datang." "Amanat Dr. Radzi Jidin kepada Warga KPM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nPutrajaya \u2013 Pada 3 November 2022 bertempat di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menganjurkan program Dr. Radzi Jidin Bersama-sama Warga Kementerian Pendidikan Malaysia. Program ini dihadiri oleh warga KPM yang terdiri daripada wakil bahagian dan agensi di bawah KPM.\nKetibaan YB Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin bersama-sama isteri, YBhg. Datin Balqis Zakaria turut diiringi barisan pengurusan tertinggi KPM, antaranya Ketua Setiausaha KPM, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato\u2019 Haji Pkharuddin Haji Ghazali; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBrs. Tuan Ramzi Mansor; Mantan Ketua Setiausaha KPM, YBhg. Dato\u2019 Dr. Mohd Gazali Abas dan Mantan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), YBrs. Dr. Mohamed Abu Bakar.\nMemegang jawatan sebagai Menteri Kanan Pendidikan, bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Jawatan ini merupakan amanah yang sangat berat kerana perlu bertanggungjawab kepada lebih lima juta murid, perlu bertanggungjawab kepada lebih 500 ribu orang guru dan kakitangan, dan perlu bertanggungjawab kepada \u00a0lebih 10 ribu buah sekolah di seluruh negara.\nSebagai seorang menteri, beliau bukanlah seorang yang cerewet, namun merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dengan telus. Sebagai seorang ketua, beliau perlu mengajar pegawainya menjadi orang yang berani membuat sesuatu mengikut peraturan dan perlu teliti dalam menghasilkan dokumen.\nTegas YB Datuk Dr. Radzi Jidin,\nSetiap pegawai perlu sentiasa cakna akan keberadaan mereka sebagai seorang pekerja. Setiap pendekatan yang diambil oleh KPM adalah untuk membawa budaya baharu di kementerian supaya dihormati oleh masyarakat luar.\nMenurut beliau, membuat dasar itu mudah, namun untuk memastikan dasar itu diterima oleh rakyat bukanlah sesuatu yang mudah. Perkara yang paling penting adalah untuk memastikan kepercayaan rakyat berada pada tahap yang paling tinggi. Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama berganding bahu menjayakan pelaksanaan dasar tersebut.\nDalam ucapan alu-aluan, YBhg. Datuk Yusran Shah mengatakan bahawa penganjuran program ini adalah sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti yang dicurahkan oleh barisan kepimpinan yang diterajui oleh YB Menteri Kanan Pendidikan, terutamanya dalam usaha untuk meletakkan KPM sebagai sebuah kementerian yang efisien, berintegriti dan berwawasan.\nPenganjuran majlis ini bukan sahaja untuk merakamkan penghargaan atas jasa dan sumbangan YB Datuk Dr. Radzi Jidin terhadap transformasi pendidikan negara. Selain itu, KPM turut menghargai jasa pemimpin yang bersama-sama membawa pendidikan negara melalui liku-liku cabaran, terutamanya sewaktu pandemik COVID-19 melanda negara.\n\u201cSekalung penghargaan dan tahniah diucapkan kepada pengurusan tertinggi KPM yang telah membawa kecemerlangan kepada KPM dalam bentuk transformasi yang telah dilaksanakan. Saya mengharapkan agar warga KPM terus memberikan komitmen yang tinggi untuk terus menjalankan amanah sepertimana yang diberi tunjuk ajar oleh YB Menteri Kanan Pendidikan,\u201d ujar YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.\n\nPada masa yang sama, YB Datuk Dr. Radzi Jidin turut menitipkan nasihat buat warga dewan agar bergerak sehaluan dan memastikan segala yang dirancang berjalan dengan baik, sistem pendidikan akan menjadi jauh lebih baik. Lonjakan yang telah dilaksanakan dalam dua setengah tahun yang lepas menunjukkan bahawa KPM berada dalam landasan yang baik.\nMenariknya, majlis turut diserikan dengan rakaman video kecemerlangan KPM sepanjang tahun 2022, iaitu Johan Pertandingan Perbarisan Antara Kementerian bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan yang Ke-65 dan Penarafan 5 Bintang bagi Program Keceriaan Hari Kebangsaan Antara Kementerian Tahun 2022. Selain itu, persembahan lain turut diadakan seperti lagu puisi, lagu kanak-kanak dan persembahan istimewa daripada Datuk Ramli Sarip.\nSumber foto: KPM." "Raja Puan Muda Perlis Merakamkan Penghargaan kepada DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Wanita pada hari ini kian bergerak maju dalam pelbagai bidang merangkumi pendidikan, sosial, politik dan ekonomi. Tanggapan segelintir masyarakat yang meletakkan wanita sebagai pihak kedua dalam pembangunan haruslah diperbetul.\nDemikian titah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selepas berkenan menyempurnakan sesi menandatangani surat ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, ahli panel, moderator dan ahli jawatankuasa utama atas pelibatan dan komitmen dalam menjayakan Seminar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) Siri Ke-14: \u201cWanita dalam Pembangunan Negara\u201c yang dianjurkan oleh DBP dengan kerjasama YTF secara hibrid pada 20 Oktober 2022.\nPerumpamaan bahawa tangan wanita yang membuai buaian boleh menggegarkan dunia menggambarkan betapa besarnya peranan kaum wanita dalam pembangunan negara.\u00a0Hal ini dikatakan demikian kerana sumbangan wanita mampu membangunkan sebuah negara.\nTuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah selaku Pengerusi YTF dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Penasihat DiRaja YTF amat bersukacita atas kerjasama serta komitmen yang tidak terhingga diberikan khususnya oleh warga kerja DBP sendiri dalam menjayakan penganjuran program seminar sehari suntuk tersebut.\nTuanku Raja Puan Muda turut menarik perhatian terhadap pelibatan wanita membangunkan negara secara aktif melalui pelbagai pertubuhan bukan kerajaan. Melalui pertubuhan tersebut, mereka boleh menyalurkan idea dan cadangan sama ada dari segi pendidikan, keagamaan, sosial, budaya dan ekonomi.\nSelain itu, melalui persatuan juga mereka boleh membantu membangunkan negeri dan negara dengan memastikan kesejahteraan dan keharmonian masyarakat sentiasa terpelihara." "Kod Kandungan 2022: Debut untuk Mendukung Ekosistem Kandungan yang Teguh\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah melancarkan secara rasmi Kod Kandungan 2022 yang baharu, iaitu panduan komprehensif yang menggariskan amalan terbaik dan standard etika untuk penciptaan dan kurasi kandungan. Rombakan kod ini ialah bukti komitmen dan dedikasi Forum Kandungan untuk memajukan landskap kandungan yang mantap dengan membangunkan standard kandungan yang mencerminkan masa kini dan setanding dengan amalan terbaik global.\nKod Kandungan 2022 baharu ini merupakan hasil daripada proses yang meluas oleh Forum Kandungan yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk orang ramai. Hasil daripada perundingan awam di seluruh negara yang dijalankan tahun lepas, Forum Kandungan telah mengumpul maklum balas melalui pelbagai dialog awam dan menerima kira-kira 1245 penyerahan bertulis daripada individu. Mediha Mahmood, Pengarah Eksekutif Forum Kandungan berkata:\nPerundingan awam membantu kami mengenal pasti dan menangani beberapa kebimbangan yang telah tercetus baru-baru ini dalam industri kandungan. Di Forum Kandungan, kami percaya bahawa pembentukan dasar yang paling baik dilakukan dengan input bukan sahaja daripada pembuat dasar dan pengawal selia tetapi juga setelah berunding dengan industri, pihak berkepentingan dan orang awam. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengambil bahagian.\nDalam usaha untuk memastikan kod itu terus memudahkan pengawalan kendiri dalam ekosistem kandungan Malaysia sambil berkembang seiring dengan peredaran zaman, rombakan itu bertujuan menyumbang secara signifikan sebagai garis panduan dalam menangani pelbagai isu dan mencetuskan perbualan penting dalam kalangan pengguna hari ini. Hal ini termasuklah eksploitasi agama dalam produk pengiklanan, etika pelaporan kes bunuh diri dalam berita, menangani pengiklanan mengelirukan yang disokong oleh pempengaruh, mengelakkan kebimbangan mendesak mengenai pengiklanan untuk kanak-kanak, menangani penderaan dalam talian dan keganasan berasaskan jantina, dan kebolehcapaian maklumat untuk Orang Kurang Upaya (OKU).\nDengan adanya garis panduan ini, kandungan berbahaya dan penyalahgunaan maklumat dapat dielakkan dengan lebih berkesan. Apabila lebih ramai pencipta kandungan menyedari implikasi dan peraturan tentang perkara yang boleh atau tidak boleh diterbitkan, hal ini akan membina kepercayaan dan kredibiliti awam. Kod ini juga menggalakkan pemain industri untuk menjadi lebih bertanggungjawab terhadap kandungan yang dikongsi. Hal ini penting terutamanya pada masa kini kerana ekosistem kandungan telah menjadi begitu luas tanpa sempadan sehingga sukar dikawal, dan perkara ini menjadikan pengawalan kendiri sebagai salah satu cara terbaik dan berkesan untuk membina ruang kandungan yang lebih sihat. Kebergantungan kepada pihak berkuasa atau kawalan pihak ketiga ke atas kandungan sahaja tidak mencukupi, melihat kepada skala dan kadar di mana kandungan tersebar dalam talian. Forum Kandungan menyokong semua orang dalam ekosistem kandungan untuk memainkan peranan masing-masing dalam mengawal selia sendiri kandungan yang dibentuk dan digunakan oleh mereka.\n\u00a0\nPelibatan Pihak Berkepentingan Utama\nDalam usaha untuk memupuk wacana berterusan mengenai ekosistem kandungan yang kompleks dalam kalangan pihak berkepentingan utama industri, satu sesi dialog bertajuk \u201cContent: Who\u2019s in Control?\u201d telah dianjurkan pada 2 November 2022 di Auditorium Connexion Conference & Event Centre (CCEC), Bangsar South sempena pelancaran rasmi Kod Kandungan baharu ini. Ahli panel daripada pelbagai bidang industri kandungan berkumpul untuk membincangkan peraturan kandungan dan bagaimana pengawalan kendiri bertindak sebagai cara terbaik untuk bidang kandungan global yang lebih sihat. Ahli panel terdiri daripada Euan Smith, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro; Mediha Mahmood, Pengarah Eksekutif Forum Kandungan; Ruben Hattari, Pengarah Dasar Awam Netflix; Nini Yusof, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian TV Media Prima dan Dinesh Ratnam, Pengurus iQiyi Rantau Malaysia, Singapura dan Brunei. Kenny Ong, Pengerusi Forum Kandungan berkata:\nKami bertuah kerana dapat bekerjasama dengan pihak berkepentingan industri utama untuk memajukan standard kandungan negara. Ahli panel kami yang dihormati membawa pemikiran yang berbeza mengenai kawalan serta memberi penerangan tentang bagaimana industri mengendalikan perbincangan mengenai hal ini dari industri berpusatkan media tradisional. Perbincangan berterusan seperti ini dan penglibatan dengan industri ialah sesuatu yang ingin kami pupuk. Hal ini selaras dengan bagaimana Kod Kandungan telah direka dan bagaimana kod ini akan terus digunakan dalam usaha memupuk landskap kandungan yang progresif untuk semua rakyat Malaysia untuk generasi akan datang,\nMeningkatkan Aras dalam Pengawalan Kendiri tentang Kandungan\nPertama kali ditubuhkan pada tahun 2004 di bawah naungan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kod Kandungan bertujuan menyediakan industri yang kompetitif, cekap dan mengawal selia sendiri, sambil menangani jurang dasar dan menekankan keperluan penting untuk menegakkan hak, keselamatan dan kebajikan pelbagai lapisan masyarakat dan pihak berkepentingan.\nTurut hadir pada majlis pelancaran itu ialah wakil daripada SKMM yang menyedari bahawa Kod Kandungan yang dikemas kini telah pun digunakan dengan baik, mendorong perbincangan mengenai isu-isu berkaitan kandungan yang jarang dibincangkan oleh orang ramai.\nKami berharap Kod Kandungan 2022 baharu ini akan memperkasakan landskap kandungan Malaysia. Terima kasih kepada organisasi seperti Forum Kandungan, yang komited untuk memudahkan pengawalan kendiri dan kandungan selamat. Sejak awal, Forum Kandungan telah komited untuk memastikan Kod Kandungan kekal relevan dan progresif. Saya pasti bahawa kita akan melihat lebih banyak perubahan dalam Kod pada masa akan datang apabila industri kandungan berkembang dan isu baharu timbul. Perkara ini juga selaras dengan visi SKMM untuk mewujudkan industri yang berdaya saing, cekap dan sentiasa mengawal selia kendiri untuk terus mendahului perubahan zaman.\nKod Kandungan 2022 telah didaftarkan secara rasmi dan berkuat kuasa pada 9 Jun 2022 dan boleh didapati di https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/registers/Content-Code-2022.pdf.\u00a0 Untuk maklumat lanjut mengenai Forum Kandungan dan Kod Kandungan, sila layari https://contentforum.my/." "Usaha DBP Cawangan Sabah Menyebarluaskan Ilmu dalam Bidang Penulisan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKeningau \u2013 Usaha DBP Cawangan Sabah menyebarluaskan ilmu dalam bidang penulisan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau mendapatkan sambutan yang menggalakkan daripada golongan pendidik di sini. Kunjungan awal DBP Cawangan Sabah kali ini untuk melihat peluang penerbitan yang boleh diadakan secara kerjasama dengan IPG Kampus Keningau pada masa akan datang. Taklimat ini dihadiri oleh pensyarah IPG Kampus Keningau, wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Keningau dan pelajar IPG Kampus Keningau.\nTaklimat umum penerbitan DBP ini disampaikan oleh Puan Noorzanani Haji Kata selaku Ketua Unit Penerbitan. Taklimat tersebut diterangkan secara menyeluruh tentang proses penerbitan dan perolehan bagi judul buku umum, buku sastera, buku kanak-kanak dan buku kreatif dan majalah.\nSelain itu, Puan Noorzanani turut mendedahkan peluang yang luas kepada hadirin untuk menghantar karya penulisan mereka dalam majalah e-Wadah. Majalah e-Wadah ini membuka peluang kepada penulis yang berasal dari negeri Sabah untuk melebarkan sayap penulisan mereka, seterusnya membuka ruang juga untuk penulis baharu di Sabah untuk menapak dalam bidang penulisan.\nDalam perkembangan yang sama, Puan Norma Sanid pula selaku pegawai projek menyampaikan taklimat tentang Kertas Cadangan Judul bagi perolehan manuskrip buku umum di DBP Cawangan Sabah. Pensyarah digalakkan untuk menghasilkan buku umum atau buku ilmiah berdasarkan penyelidikan tesis mereka yang sedia ada. Hal ini dikatakan demikian ilmu tesis itu tidak terbatas kepada penyelidik sahaja.\nProjek secara kerjasama antara DBP Cawangan Sabah dengan IPG Kampus Keningau dalam bidang penerbitan akan diusahakan pada masa akan datang." "DBP Terima Kunjungan Pelajar Tokyo University of Foreign Studies\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Promosi dan Pengiktirafan telah mengadakan Program Mesra dan Apresiasi Bahasa dan Sastera bersempena dengan Kembara Ilmu Inap Desa Pelajar Jurusan Bahasa Melayu, Tokyo University of Foreign Studies (TUFS) pada pukul 10.00 pagi tadi di Stor Teater DBP. Program ini diadakan bagi mempromosikan bahasa dan sastera ke peringkat antarabangsa, mengetengahkan produk dan perkhidmatan DBP dan membina jaringan kerjasama DBP dengan organisasi di luar negara.\nDalam ucapan alu-aluan oleh YBrs. Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi (Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP), beliau menyatakan bahawa DBP merupakan tempat berlangsungnya pelbagai acara dan kegiatan kebahasaan dan sastera dalam usaha menyemarakkan perjuangan bahasa Melayu di Malaysia. Sehubungan dengan itu, kedatangan para pelajar TUFS ke DBP sangat dialu-alukan.\nProgram ini merupakan inisiatif dan semangat \u201csamurai\u201d YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, yang juga selaku Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dalam usaha pengembangan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa seperti di Tokyo, China dan sebagainya. Hal ini berkait rapat dengan satu daripada visi DBP, iaitu untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dunia.\nTambah beliau, para pelajar seterusnya akan dibawa melawat ke beberapa bahagian di DBP untuk mempelajari dan menimba sedikit pengalaman berkaitan dengan ilmu penerbitan dan pengembangan bahasa dan sastera.\nSementara itu, menurut Mashaki Haruka atau nama timangan Melayunya, Haliza, selaku wakil pelajar dari TUFS sempat berkongsi pandangannya di DBP.\nSaya dan kawan-kawan sangat berterima kasih kepada DBP. Saya yakin banyak ilmu pengetahuan berkaitan dengan bahasa Melayu yang akan kami peroleh sepanjang berada di DBP. Pengalaman ini amat berharga buat kami kerana dapat menambahkan lagi minat kami untuk berusaha\u00a0 mempelajari bahasa Melayu. Kami juga banyak mempelajari bahasa Melayu melalui bahan bacaan hasil tulisan YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan semasa berada di Jepun.\nDalam majlis tersebut, beberapa orang pelajar TUFS turut membuat persembahan masing-masing. Itchika Hiramatsu atau nama timangan Melayunya, Hidayah dan Mashaki Haruka (Haliza) telah mendeklamasikan puisi dalam bahasa Melayu yang sangat menarik.\nKato Wakana atau nama timangan Melayunya, Wan Ana pula menyampaikan pidatonya yang berkaitan dengan kelebihan belajar bahasa asing. Menurut beliau, antara kelebihan mempelajari bahasa asing ialah seseorang itu dapat memahami budaya dan masyarakat asing terutama dalam urusan perniagaan dan juga dapat mengelak berlakunya salah faham yang seterusnya dapat mengeratkan perhubungan.\nTambahnya lagi, seseorang itu akan lebih seronok untuk berkawan dengan bangsa asing kerana akan lebih mudah untuk berkomunikasi, mendapat lebih banyak ilmu dan maklumat terbaharu dalam bahasa asing, dapat meluaskan fikiran dan pandangan serta dapat mengaktifkan otak untuk mengurangkan risiko penyakit nyanyuk.\nMengakhiri program ini ialah penyampaian wacana ilmu dan bacaan puisi oleh YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, yang juga selaku Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. \nDalam ceramahnya yang berjudul \u201cKembara Bahasa: Dari Pentas Negara ke Pentas Antarabangsa\u201c, beliau menerangkan bahawa hasil kajian beberapa orang sarjana dunia telah mengemukakan teori berkenaan dengan bahasa Melayu yang sudah wujud di Pentas Sunda atau Kepulauan Melayu sejak 15 000 tahun silam. Tambahnya lagi, orang Melayu merupakan penduduk asal Pentas Sunda.\nTambahnya lagi, bahasa Melayu penting dalam pembinaan negara. Dasar Bahasa Kebangsaan (DBK) menjadi satu daripada skema perancangan pembinaan negara. Namun begitu, agak menyedihkan kerana negara masih lagi mengalami \u201cGerhana bahasa Melayu\u201d disebabkan\u00a0 bahasa Melayu masih belum digunakan sepenuhnya dalam kalangan masyarakat termasuklah di pentadbiran negara.\nMasih ada dalam kalangan masyarakat yang keliru dengan sistem ejaan bahasa Melayu, tatabahasa bahasa Melayu dan sebagainya. Oleh itu, DBP berusaha untuk meluaskan penggunaan bahasa Melayu baik di dalam negara mahupun pada peringkat antarabangsa. Pada peringkat antarabangsa, DBP berperanan penting sebagai Urus Setia Bahasa Melayu.\nProgram yang berlangsung selama dua jam\u00a0setengah itu diakhiri dengan deklamasi sajak oleh YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang berjudul \u201cMenganyam Tikar Peradaban\u201c. Yang turut hadir ialah Encik Sharrul Rizal Hashim (Ketua Bahagian Komunikasi Korporat) dan Puan Khalidah Mohammad selaku Pensyarah Pelawat yang mengiringi pelajar TUFS, pegawai DBP dan para pelajar TUFS." "Promosi Negeri Indera Kayangan melalui Istiadat Konvokesyen Universiti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Istiadat Konvokesyen Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) akan diadakan pada 12 November 2022 di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Pauh Putra melibatkan seramai 215 penerima.\nPada masa yang sama, Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang ke-16 melibatkan hampir 2800 penerima ijazah akan diadakan pada 21 hingga 24 November 2022 dan disusuli dengan Istiadat Konvokesyen ke-17 pada 26 hingga 29 November 2022 melibatkan 3000 penerima di Dewan Ilmu, UniMAP Pauh Putra.\nMajlis istiadat akan disempurnakan oleh baginda selaku Canselor dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan penyerahan ijazahnya pada sepanjang bulan ini tentunya dihadiri oleh ribuan pengunjung yang terdiri ahli keluarga penerima ijazah dari seluruh pelosok negara.\nOleh sebab itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menggalakkan pengusaha dan operator lokasi utama pelancongan menarik, hotel, inap desa dan kedai makan yang popular di negeri Perlis untuk mempromosikan produk masing-masing melalui media sosial atau medium promosi berkesan yang lain sepanjang bulan November 2022 ini.\n\nDalam penganjuran tersebut, Tuanku Raja Muda menegaskan agar tahap kebersihan, susun atur dan keceriaan setiap premis, serta tempat awam dilipat gandakan. Baginda juga menyentuh berkenaan kemesraan perkhidmatan dengan menasihati agar setiap penyampai perkhidmatan untuk sentiasa mengukir senyuman dan menawarkan bantuan kepada pengunjung selain menawarkan harga barangan yang kekal berpatutan.\nMemandangkan negara sedang dalam musim tengkujuh, setiap pengusaha juga mesti mengambil kira faktor cuaca supaya segala perancangan berjalan lancar dan alternatif yang diatur juga berkesan demi keselesaan pengunjung dan juga memudahkan warga kerja masing-masing memberikan perkhidmatan yang terbaik.\nSelain Perlis, Istiadat Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) yang ke-34 akan berlangsung pada 6 hingga 10 November 2022 di Dewan Mu\u2019adzam Shah universiti berkenaan di Sintok, Kedah yakni jaraknya tidak berapa jauh dengan negeri Perlis dan kebiasaannya, pengunjung akan mengambil peluang untuk \u201cterus lajak\u201d ke negeri Perlis bagi menikmati pelbagai makanan yang lazat, serta melawat tempat-tempat menarik yang baharu seperti Tasik Timah Tasoh, Gua Wang Burma dan Banjaran Nakawan di samping berbelanja di Padang Besar.\nBukan sahaja majlis konvokesyen yang diadakan di negeri Perlis ini, Kejohanan Woodball Terbuka Perlis (Perlis Open) 2022 anjuran Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Perlis juga akan berlangsung bermula 25 hingga 27 November 2022 di Laman Woodball Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra UniMAP Pauh Putra.\nKemasukan pelancong ke negeri Perlis akan mampu memperkenalkan tempat menarik dan membantu usahawan kecil untuk meningkatkan pendapatan masing-masing dengan hasil jualan yang diusahakan, terutamanya melalui media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok, yakni maklumat ini boleh dicapai oleh pengguna dengan hanya satu klik.\nNamun begitu, sebagai pengunjung, kebersihan di sesuatu tempat perlu dijaga dengan baik bagi mengekalkan tarikan pelancong lain dan keselesaan kepada mereka, di samping mengekalkan pendapatan kepada para pengusaha di tempat tersebut." "Pelaksanaan Kadar Baharu Rancangan Makanan Tambahan (RMT)\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa kadar baharu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi seorang murid dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk Semenanjung Malaysia dan RM3.00 kepada RM4.00 bagi Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan. Kadar baharu ini berkuat kuasa mulai 6 November 2022. Pelaksanaan kadar baharu ini memanfaatkan seramai 791,477 orang murid penerima RMT di seluruh negara.\nProgram RMT ini bertujuan memberikan makanan berkhasiat kepada murid dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah atau kurang berkemampuan di sekolah rendah KPM bagi memperbaiki keadaan kesihatan, fizikal dan amalan pemakanan. KPM bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta pakar pemakanan di universiti tempatan bagi menjamin kualiti makanan yang disediakan pada tahap terbaik.\nBagi memastikan murid mendapat makanan berkhasiat, pihak KKM sebelum ini telah mengemukakan syor kepada kabinet supaya peruntukan KPM bagi RMT dapat ditingkatkan.\nKPM komited dan sentiasa berusaha ke arah penambahbaikan program ini dari semasa ke semasa. Pelaksanaan kadar baharu ini diharapkan dapat menggalakkan lagi gaya hidup sihat yang dapat membantu proses tumbesaran murid di peringkat umur awal persekolahan." "Program MDK Terapkan Pendekatan Didik Hibur bagi Murid Sekolah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Kangsar \u2013 Program Majalah Dalam Kelas (MDK) kembali lagi diadakan dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Asam dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sebanyak 78 orang murid yang terdiri daripada murid tahun tiga hingga tahun enam telah menyertai program MDK pada hari ini yang bermula seawal pukul 8.30 pagi dan berakhir pada pukul 12.30 tengah hari.\nProgram dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Guru Besar SK Padang Asam, Puan Nor Afida Shuib yang mengalu-alukan kedatangan sidang editor Bahagian Majalah DBP, Puan Fansurina Ramli dan Puan Syaza Wardina Abd Khalik. Program ini juga turut diserikan dengan persembahan syair dan cerita rakyat oleh murid SK Padang Asam.\nProgram MDK ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada murid tentang penggunaan majalah sebagai medium untuk membantu meningkatkan prestasi bahasa dalam kalangan murid sekolah. Selain itu, Program MDK juga menjadi pendekatan secara didik hibur bagi murid untuk memperoleh pelbagai maklumat tambahan di samping menjadi bahan sokongan dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.\nAntara aktiviti yang dijalankan semasa program MDK termasuklah sesi taklimat tentang majalah Dewan Pelajar, Kuiz Menara Belon dan beberapa aktiviti bahasa seperti membina ayat daripada peribahasa dan menulis cerita pendek berdasarkan petikan yang diberikan.\nSelaku Guru Besar, Puan Nor Afida menyatakan harapan untuk mengadakan program seumpama ini lagi dan meneruskan kerjasama bersama-sama pihak DBP pada masa akan datang.\nIni satu pengalaman yang baharu bagi murid. Mereka\u00a0 amat teruja dengan aktiviti yang telah dijalankan. Semoga apa-apa yang dipelajari dan input yang mereka dapat pada hari ini dapat memberikan pendedahan kepada mereka tentang luasnya bahasa dalam kehidupan.\nProgram diakhiri dengan Sesi Penyampaian Hadiah kepada tiga kumpulan terbaik. Pihak DBP dan pihak sekolah sempat bertukar-tukar cenderahati sebagai tanda penghargaan.\n*Untuk catatan, SK Padang Asam merupakan satu daripada sekolah di Malaysia yang dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM), iaitu sekolah yang mempunyai jumlah murid kurang daripada 150 orang." "DBP Mencungkil Bakat Penulis Baharu di IPGKDRI, Kuala Nerus\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Nerus\u00a0\u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Sekolah (BBS) bekerjasama dengan Institut Pendidikan Guru Kampus Dato\u2019 Razali Ismail (IPGKDRI) dalam mengadakan Bengkel Penataran Buku Teks dan Perolehan Buku Sokongan Pendidikan. Bengkel ini bermula pada 2 hingga 3 November 2022.\nBengkel ini yang bertujuan memberikan pendedahan tentang peluang kerjasama penerbitan buku bercetak dan bahan sokongan digital bertemakan pendidikan berjaya menghimpunkan para guru dan pendidik dalam kalangan pensyarah di IPGKDRI.\nDalam bengkel tersebut, para peserta telah diberi bimbingan berkaitan dengan proses penulisan buku teks dan buku sokongan pendidikan, di samping sesi perkongsian bersama-sama dengan editor mata pelajaran. Kemuncak sesi ini ialah pembentangan hasil contoh penulisan oleh para peserta.\nPengarah IPGKDRI, Dr. Hajah Narita Mohd Noor dalam ucapan alu-aluannya menyeru para pensyarah IPGKDRI untuk berani menyahut cabaran dengan membukukan hasil penyelidikan yang dijalankan. Selain itu, beliau turut berharap agar kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.\nSementara itu, dalam ucapan penutupan bengkel tersebut, Pengarah Penerbitan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat, menyatakan komitmen DBP untuk meneruskan kerjasama ini bagi sesi akan datang.\nBengkel ini diharapkan memberikan manfaat kepada kedua-dua buah institusi. DBP sebagai penerbit sentiasa mengambil inisiatif memantapkan pasukan penerbitannya selaras dengan perubahan semasa, khususnya dalam aspek pendigitalan. Selain itu, bengkel ini merupakan jalinan strategik usaha memperkukuh kepakaran khususnya melibatkan pakar bidang subjek (SME) oleh editor dan pensyarah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bidang pendidikan.\nTambah beliau lagi, usaha jerayawara perbengkelan dan pencarian pasukan penerbitan, khususnya pencarian penulis buku teks perlu dilaksanakan secara giat ke seluruh negara bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan dalam kalangan pendidik." "Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Perlis Disambut Bersama-sama Warga Kampus\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Perlis bagi tahun 2022 disambut meriah bersama-sama warga kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis semalam. Sambutan Hari Alam Sekitar itu diadakan serentak bersama Karnival Geomatik Universiti Teknologi Mara Cawangan Perlis selama dua hari bermula 2 November 2022.\nRektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Prof Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi dalam ucapan alu-aluannya berkata, UiTM Cawangan Perlis menyambut baik usaha untuk memupuk kesedaran bagi menghijaukan dan memulihara bumi. Hal ini demikian kerana usaha ini seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menekankan usaha pemuliharaan alam sekitar untuk kehidupan yang lebih lestari.\nBeliau juga berharap agar program sebegini akan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang demi memupuk kesedaran orang ramai tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan menangani kesan perubahan iklim melalui penanaman pokok.\n\u201cTahniah dan syabas diucapkan kepada Pusat Pengajian Sains Ukur dan Geomatik, UiTM Cawangan Perlis kerana dapat menjalinkan kerjasama erat bersama-sama Jabatan Alam Sekitar Cawangan Perlis dalam menjayakan Hari Alam Sekitar Negara 2022 Peringkat Negeri Perlis dan Karnival Geomatik UiTM Cawangan Perlis pada hari ini\u201d ujarnya pada akhir ucapan.\nMajlis perasmian dan penutupan bagi program sambutan ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis. Semasa majlis tersebut beliau turut meluangkan masa menyempurnakan simbolik penanaman pokok jenis \u2018Merawan Siput Jantan\u2019.\nBersempena dengan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Perlis bagi tahun 2022 ini, pelbagai program telah dijalankan. Antaranya termasuklah\u00a0 aktiviti senamrobik, pameran, penanaman pokok, pertandingan e-sukan, pertandingan mewarna dan juga pengumpulan barang-barang kitar semula (e-Waste). Manakala aktiviti seperti lawatan ke kampus, kelas goematik, NeoRun, program ceramah dan derma darah juga diadakan bersempena dengan Karnival Geomatik peringkat UiTM Cawangan Perlis.\nHadir bersama dalam majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis, Puan Norasmah Ab. Rani; Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Encik. Awang Shaffie Awang Ahmadni; barisan pengurusan kanan Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis, ketua-ketua jabatan dan wakil agensi serta barisan pensyarah dan juga pelajar." "Mahasiswa Contoh Teladan yang Baik kepada Masyarakat \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nChuping \u2013 Cabaran besar pada hari ini adalah tentang peranan universiti untuk kekal relevan dalam memberikan sumbangan yang bernilai terhadap pembangunan masyarakat dan negara. Bukan sekadar bertanggungjawab untuk melahirkan mahasiswa berkualiti dan berintegriti sebagai pemimpin masa hadapan, tetapi juga untuk pihak berkuasa, pembuat dasar, dan pelaksana dasar menerima idea dan pemikiran ilmuan kita dalam melakukan perubahan yang memberikan impak.\nDemikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21 000 kepada sebanyak 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al Husna, Batu Bertangkup, Chuping melalui amilnya Zakaria Hashim, baru-baru ini. Penyerahan tersebut diadakan di perkarangan Harvest Bakery Program Transformasi Destini Zakat MAIPs di Taman Desa Asnaf (TDA) Batu Bertangkup dan masing-masing menerima RM700.\nPada kesempatan yang sama, Tuanku Raja Muda Perlis berharap agar mahasiswa hendaklah mengelakkan daripada melakukan perkara yang boleh melanggar peraturan sama ada peraturan di dalam kampus mahupun di luar kampus. Hal ini dikatakan demikian kerana mahasiswa merupakan contoh teladan kepada masyarakat.\nTuanku Raja Muda Perlis turut bertitah,\nBerjauhan dengan keluarga bukan tiket kebebasan untuk melakukan perkara yang dilarang, baik dari segi agama mahupun undang-undang.\nTurut hadir mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor." "DYTM Raja Muda Perlis Bertitah Seru Rakyat Berpegang Teguh kepada Prinsip Rukun Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 \u201cMarilah kita bersama-sama menjaga kedaulatan negara Malaysia kita yang tercinta ini.\u201c\nUsaha mengekalkan keharmonian negara yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum bukan sesuatu yang mudah. Tanpa kerjasama daripada generasi muda terutamanya, nescaya negara akan menghadapi kepincangan dengan perpaduan rakyatnya yang rapuh pada masa hadapan.\nSehubungan dengan itu, rakyat hendaklah sentiasa berpegang teguh kepada lima prinsip Rukun Negara dan ikrar sebagai rakyat Malaysia yang setia bagi mengelakkan kesejahteraan negara terjejas.\nDemikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM21,000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al Abrar, Kampung Kubang Gajah di mana masing-masing menerima RM700 setiap seorang untuk diagihkan oleh amilnya, Johare Harun baru-baru ini.\n\u00a0\nTuanku Raja Muda kemudiannya turut berkenan singgah menziarahi tiga buah rumah keluarga asnaf dalam program Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan ke-72 bagi tahun 2022. Mereka yang disanjungi dan disampaikan sumbangan MAIPs ialah Safiai Lah, 68 tahun; Hamidon Abdul Razak, 58 tahun dan Ramlah Abu Bakar, 71 tahun.\nTurut mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor." "Program PESKON Meraikan 6611 Mahasiswa UUM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRibuan pengunjung memeriahkan Majlis Perasmian Pesta Konvokesyen (PESKON) kali ke-34 Universiti Utara Malaysia (UUM)\u00a0bertempat di Padang Kawad PALAPES, UUM, malam tadi.\nNaib Canselor UUM, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, majlis ini amat bermakna bagi meraikan 6611 mahasiswa yang berjaya menamatkan pengajian, sekali gus telah melahirkan pelapis pemimpin negara.\nSaya berbangga dengan pelaksanaan konvokesyen pada kali ini yang diketuai oleh Pengarah PESKON, Muhammad Alif Haikal Amran melibatkan seramai 161 pelajar sebagai perancang, pengurus dan pelaksana. UUM akan terus melahirkan graduan dan pelapis pemimpin masa hadapan.\n\u201cKutiplah pengalaman menganjurkan pesta ini sebagai asas kepada kalian untuk menjadi pemimpin kerana menganjur program sebegini bukanlah mudah, pastinya memerlukan komitmen, kesungguhan dan paling penting ketaatan kepada ketua kita, serta pengalaman yang ditimba akan menjadi satu pengajaran dan nilai tambah.\nBeliau teruja apabila berpeluang untuk melihat anak-anak, ibu bapa dan warga universiti dalam usaha merapatkan hubungan antara satu sama lain, persahabatan serta mengimbau kenangan sepanjang bergelar keluarga besar UUM ini.\n\u201cProgram seumpama ini amat bermakna, maka mahasiswa diseru agar menjaga disiplin dan nama baik universiti supaya pengunjung akan terpesona dengan adab dan budi bahasa,\u00a0selaras dengan moto UUM, iaitu\u00a0\u2018Ilmu,\u00a0Budi,\u00a0Bakti\u2019\u00a0yang dijulang tinggi,\u201d ujarnya.\nBeliau turut berkongsi perkembangan terkini Times Higher Education (THE) World University Rankings 2023 yang melaporkan UUM sebagai universiti media terbaik dan berada pada kedudukan ke-70 antara universiti terbaik Asia.\n\u201cKejayaan ini merupakan kejayaan kita semua,\u00a0seterusnya kita sama-sama berusaha menjadi yang terbaik di Malaysia,\u201d tambahnya sejurus sebelum penyempurnaan gimik perasmian.\nSementara itu, Muhammad Alif Haiqal berkata, PESKON diadakan sempena Majlis Konvokesyen UUM Ke-34\u00a0yang berlangsung pada\u00a03 hingga 11 November 2022 mulai pada pukul 9.00\u00a0pagi hingga 11 malam di Tapak Ekspo, Padang Kawad PALAPES dan sekitar UUM.\nPelbagai aktiviti menarik diadakan seperti\u00a0Pertandingan Paintball, Harry Potter Run, Pertandingan Nasyid, Pencarian Daie Dan Muazzin, Ketuk-Ketuk PESKON, Malam Cinta Rasul, ekspo niaga dan yang paling dinanti-nantikan adalah persembahan daripada barisan artis tanah air.\nPESKON yang mengangkat tema \u201c#INIUUMKITA: Kenangan Tercipta\u201d\u00a0merupakan satu program istimewa yang dibawa khas bagi meraikan graduan yang berjaya menamatkan pengajian.\nDalam majlis tersebut, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Menurutnya, setiap usaha dan kegigihan dapat\u00a0melahirkan graduan yang kompetitif dan mampu menyumbang kepada negara.\nBeliau juga berharap agar program yang dilaksanakan ini dapat memberikan\u00a0pengalaman baharu kepada semua sekretariat dalam mengendalikan program yang melibatkan dif-dif kehormat dan artis seiring meningkatkan kemahiran komunikasi antara pelajar dengan pihak luar." "PALAPES Perlu Bersedia Tabur Khidmat Bakti kepada Komuniti Setempat \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAlor Setar \u2013 \u201cPara Pegawai Muda Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) hendaklah menjadi \u201cMata dan Telinga\u201d kepada pasukan keselamatan negara. Mereka perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling terutama berhubung perihal komuniti setempat agar sebarang keadaan yang tidak diingini dapat dielakkan.\u201c\nRaja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah demikian pada Majlis Santapan Malam sempena Pentauliahan Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang diadakan di Raia Hotel, Alor Setar malam semalam.\nKeberangkatan tiba baginda disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Leftenan Kolonel Prof Ts. Dr. Zaliman Sauli selaku Komandan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) UniMAP, Prof. Dr. Mohd Fo\u2019ad Sakdan dan Timbalan Komandan PALAPES UniMAP, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.\nTurut hadir, Ketua Polis Perlis DCP Dato\u2019 Surina Saad dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji.\nMajlis berkenaan adalah bagi meraikan Pegawai-pegawai Muda yang telah ditauliahkan pada Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet PALAPES Darat Universiti Awam ke-39 Zon Utara kepada Pegawai Muda PALAPES UniMAP Kelompok 13 yang telah diadakan di Universiti Sains Malaysia pada 7 Februari 2022 yang lalu dan juga Istiadat Pentauliahan DiRaja Kadet PALAPES Universiti Awam ke-40 kepada Pegawai Muda PALAPES Darat UniMAP Kelompok 14 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 10 September 2022.\nTuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Canselor UniMAP turut mengingatkan para Pegawai Muda supaya hendaklah sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi bencana yang diramalkan berlaku terutamanya pada penghujung tahun di mana banjir kerap kali menimpa negara ketika itu. Bergantung kepada arahan sama ada daripada pihak institusi mahupun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sendiri, para Pegawai Muda harus sentiasa bersedia untuk menabur khidmat dan bakti dalam menjamin keselamatan komuniti setempat.\nTitah Tuanku Raja Muda lagi, mereka hendaklah menjaga keharmonian hidup bermasyarakat walau di mana berada khususnya menjelang Pilihan Raya Umum yang akan berlangsung pada 19 November ini, demi menjaga nama baik universiti dan juga PALAPES agar kedaulatan negara sentiasa terjaga." "Lebih 2600 Mahasiswa UiTM Cawangan Perlis Menerima Peranti Siswa Keluarga Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Lebih 2600 orang Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menerima peranti menerusi Program Peranti Siswa Keluarga Malaysia dalam Majlis Penyerahan Peranti Siswa Keluarga Malaysia yang diadakan di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis semalam.\n\nRektor UiTM Cawangan Perlis, Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi yang hadir bagi menyampaikan peranti kepada mahasiswa tersebut berharap agar peranti yang diterima akan dimanfaatkan sebaik-baik mungkin oleh mahasiswa bagi memastikan proses pengajian berjalan dengan lancar. Menurut beliau, peranti ini penting khususnya dalam sesi pembelajaran kerana penggunaan platform digital sebegini seiring dengan perkembangan teknologi dan peredaran zaman.\n\u201cPeranti ini akan kekal menjadi milik mahasiswa sepenuhnya sehingga tamat pengajian. Oleh itu, saya berharap agar mahasiswa lebih bersemangat dan berusaha untuk lebih berjaya dalam bidang pengajian masing-masing\u201c katanya.\nInisiatif Peranti Siswa Keluarga Malaysia di bawah Belanjawan 2022 ini diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu mahasiswa B40 menjalankan aktiviti pembelajaran dalam talian, melayari Internet untuk tujuan pengajian dan penyelidikan dan lain-lain.\nTurut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor; Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, Ts. Gs. Dr. Ernieza Suhana Mokhtar; ketua-ketua unit; dan staf Bahagian Hal Ehwal Pelajar." "Sebar Luaskan Bahasa Melayu untuk Paparan Awam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKudat \u2013Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah diberikan mandat untuk mengembangkan, mengukuhkan dan memantapkan penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi. Keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu memang tidak dapat disangkal lagi kerana mampu mengungkapkan ilmu tinggi dan menjadi asas ketamadunan bangsa. Bahasa Melayu merupakan bahasa perantara dalam kalangan masyarakat, justeru kemahiran dan kemampuan menggunakan bahasa Melayu dengan betul perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Hal ini penting agar penyampaian maklumat daripada satu pihak kepada pihak yang lain lebih jelas, tepat dan mudah difahami.\nSehubungan dengan itu, oleh sebab kuasa memantau kesalahan penggunaan bahasa Melayu dalam iklan di tempat awam, penamaan jalan, bangunan dan taman perumahan terletak di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), maka DBP Cawangan Sabah dengan kerjasama Lembaga Bandaran Kudat, Pejabat Daerah Kudat, telah menganjurkan Wacana Penegasan Bahasa yang berlangsung pada pukul 8.30 pagi hingga 5.00 petang, di Dewan Gimnasium, Pejabat Daerah Kudat yang melibatkan 50 peserta seluruh PBT di negeri Sabah. Wacana sehari ini disertai oleh pegawai eksekutif, wakil PBT setiap daerah, dan kakitangan Pejabat Daerah Kudat.\nPuan Fadhilah Ab. Bahar, wakil Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, sewaktu menyampaikan taklimat yang berkaitan dengan penguatkuasaan bahasa berharap agar seluruh ahli PBT yang hadir dapat meningkatkan lagi permohonan secara dalam talian untuk semakan iklan, sepanduk, tirai latar dan seumpamanya melalui aplikasi dbpsahbahasa.my. Taklimat ringkas selama dua jam ini dikongsikan dengan paparan kesalahan iklan yang sering kali digunakan oleh pelanggan dan statistik permohonan semakan iklan oleh PBT mengikut daerah di seluruh negeri Sabah.\nSementara itu, wacana bahasa diteruskan lagi oleh penceramah undangan, Encik Abd. Karim A. Bakar, Munsyi Dewan dengan slot \u201cBiasakan yang Betul, Betulkan yang Biasa\u201d. Beliau berpengalaman dalam mengendalikan ceramah bahasa, penulisan surat, memo, minit mesyuarat dan dokumen rasmi kerajaan. Beberapa kesalahan bahasa yang lazim digunakan oleh penjawat awam dalam dokumen rasmi disampaikan secara santai telah menarik minat para peserta kursus ini. Beliau turut berkongsi pengalamannya semasa berkhidmat selama 37 tahun di DBP tentang penataran bahasa, penulisan dokumen rasmi Kerajaan, dan kesantunan bahasa sejak tahun 1995.\nObjektif wacana ini diadakan adalah untuk menyebarluaskan keperluan menggunakan bahasa Melayu untuk paparan awam dan memantapkan penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi selaras dengan Perkara 152 Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Selain itu, wacana ini juga untuk menyedarkan masyarakat akan peri pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa penyatu dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa, agama dan budaya.\nDalam majlis penutupan wacana tersebut, Encik Rusdi Awang, Timbalan Pengarah I, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah turut memberikan ucapan. Menurutnya, usaha memartabatkan bahasa, sastera dan budaya di negeri Sabah turut mendapat kerjasama erat daripada pelbagai pihak.\n\u2018Sekebat bagai sirih\u2019 dan demikianlah diibaratkan jalinan kerjasama yang sedia terjalin sekian lama antara DBP Cawangan Sabah dengan PBT, penulis, persatuan penulis, agensi kerajaan negeri dan persekutuan dalam usaha memartabatkan bahasa, sastera dan budaya kebangsaan. Hal ini tidak akan dapat kami jayakan dengan cemerlang tanpa kerjasama erat ini yang diibaratkan bagai tebing bergantung ke aur dan\u00a0 demikianlah juga kita.\nWacana sehari ini mencapai matlamatnya dan diakhiri dengan majlis penutupan yang dirasmikan oleh Tuan Haji Bakri Haji Nanun, Pegawai Daerah Kudat. Menurut beliau, kecenderungan menggunakan bahasa kebangsaan yang baik dan betul memperlihatkan penghargaan dan kebanggaan terhadap bahasa Melayu.\nBahasa memperlihatkan jati diri sesebuah negara, dan Malaysia sebagai negara yang sudah memperakukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang tidak sepatutnya berlaku kerancuan bahasa dalam paparan umum seperti iklan, sepanduk, tirai latar, penamaan bangunan, tempat dan seumpamanya." "DBP Cawangan Sarawak dan MAMPU Sarawak Jalinkan Kerjasama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Menulis Esei Perkhidmatan Awam Sarawak telah dilaksanakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak pada hari ini. Pertandingan Menulis Esei ini merupakan anjuran Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Sarawak dengan kerjasama DBP Cawangan Sarawak bersempena dengan Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak.\nPenganjuran pertandingan ini merupakan kerjasama kali kedua antara pihak MAMPU Sarawak dengan DBP Cawangan Sarawak dalam menyemarakkan aktiviti kebahasaan dan inovasi di negeri Sarawak. Objektif penganjuran pertandingan ini adalah untuk meluaskan pengetahuan, penggunaan, dan penguasaan aspek inovasi menerusi penulisan, selain bermatlamat memantapkan kemahiran menulis dan memupuk semangat pembudayaan inovasi dalam amalan kerja harian. Di samping itu, penganjuran pertandingan ini juga diyakini berupaya menjana idea kreatif menerusi penulisan.\nPada tahun ini, urus setia telah menerima 37 penyertaan daripada Penjawat Awam Persekutuan dan juga Penjawat Awam Negeri yang berkhidmat di negeri Sarawak. Tema pertandingan pada tahun ini ialah \u201cPendigitalan dalam Pemodenan Penyampaian Perkhidmatan\u201d.\nDalam pertemuan ini juga, Encik Bruce Kini Jesse, Timbalan Pengarah MAMPU Sarawak menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada DBP Cawangan Sarawak atas kerjasama yang diberikan sehingga buku Antologi Esei Revolusi Pemodenan Penyampaian Perkhidmatan Awam telah berjaya diterbitkan pada tahun ini. Buku antologi ini merupakan hasil Pertandingan Menulis Esei Perkhidmatan Awam Sarawak yang dianjurkan pada tahun 2021.\nBeliau juga berharap agar kerjasama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. Besar harapan beliau agar pertandingan menulis esei ini dapat menjadi sebuah medium kepada warga perkhidmatan awam untuk mencungkil potensi dan mengetengahkan bakat penulisan kreatif di samping dapat menjiwai budaya pemodenan melalui idea penulisan yang kritis, logik serta persuasif dalam mendukung penyampaian yang cemerlang dan gemilang." "Pendidik Perlu Lebih Kreatif dan Berfikiran Jauh ke Hadapan \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Perlis \u2013 Sebagai agen perubahan, para pendidik diseru untuk sentiasa peka dengan mengikuti dan memenuhi segala keperluan dalam ekosistem pendidikan, selaras dengan perkembangan teknologi digital.\nPengajaran dan pembelajaran pada masa kini oleh warga pendidik terutamanya para guru dan pensyarah perlu lebih kreatif dan berfikiran jauh ke hadapan dalam mendepani perkembangan digital, dengan mempersiapkan diri melalui ilmu dan kemahiran yang tinggi agar tidak ketinggalan dalam perkembangan pendidikan dunia.\nDemikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM11 600 kepada seramai 29 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Ar Rahmaniah, Kampung Seberang Tok Pi Kuala Perlis, di mana masing-masing menerima RM400 setiap seorang untuk diagihkan oleh amilnya, Ramli Berahan semalam.\nTurut mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.\nTuanku Syed Faizuddin Putra turut bertitah bahawa baginda amat berbangga dengan pembudayaan pelbagai inovasi dalam kalangan warga pendidik di negeri ini yang semakin bertambah positif melalui pelbagai inisiatif di Institut Pengajian Tinggi (IPT), sekolah dan juga Jabatan Pendidikan Negeri.\nPihak Jabatan Pendidikan Negeri secara khususnya juga memainkan peranan sebagai tulang belakang atau support system\u00a0dengan menyediakan sumber pengetahuan dan kemahiran serta ruang yang bersesuaian untuk para guru berkongsi amalan terbaik secara berterusan dalam program yang dirancang, seterusnya mampu membawa nama negeri Perlis ke peringkat yang lebih tinggi di samping turut mendapat perhatian daripada pendidik di luar dari semasa ke semasa." "Sukarelawan UMK Menyertai Sidang Kemuncak Kelab Penyayang 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKajang \u2013 Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengambil inisiatif menyertai Program Sidang Kemuncak Kelab Penyayang 2022 yang telah berlangsung dari 11 hingga 13 November 2022 bertempat di RHR Hotel Kajang, Selangor.\nPenganjuran acara tahunan pada kali ini melibatkan sebanyak 10 orang sukarelawan Kelab Penyayang yang diketuai oleh Saudari Nurin Suhana Hushairy dan Encik Ruzaini Ijon selaku penasihat kelab.\nProgram Sidang Kemuncak Kelab Penyayang 2022 dianjurkan oleh Yayasan Budi Penyayang Malaysia (PENYAYANG) ini bertujuan untuk memantapkan pengurusan dan perancangan aktiviti Kelab Penyayang seluruh negara. Program tiga hari itu antaranya melibatkan perkongsian daripada individu pelbagai latar belakang yang melibatkan sudut akademik dan praktis.\nPerkongsian daripada Profesor Madya Dr. Norruzeyati Che Mohd Nasir (UUM) dan Profesor Dr. Sivamurugan Pandian (USM) menumpukan kepada perancangan dan etika dalam memberikan khidmat kepada komuniti. Perkongsian oleh Encik Raymund Jagan yang merupakan seorang kaunselor dan YBhg Dato\u2019 Dr. Ahmad Faizal Mohd Perdaus selaku presiden MERCY Malaysia mendedahkan semua peserta program kepada realiti sukarelawan dalam pembangunan negara.\nProgram ini menampilkan pelancaran Pertandingan Piala Sukarelawan Menteri Pendidikan Malaysia 2023 yang disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dato\u2019 Dr. Husaini Omar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT). Pertandingan ini merupakan cetusan ilham PENYAYANG yang bertujuan untuk menyemarakkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan ahli Kelab Penyayang dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).\nSelain ucaptama oleh KPPT, program turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Puan Nori Abdullah selaku pengerusi PENYAYANG, manakala ucapan penutupan program disempurnakan oleh YBhg Dato\u2019 Leela Mohd Ali selaku Ketua Eksekutif PENYAYANG.\nPenyertaan sukarelawan Kelab Penyayang yang masih dalam peringkat awal penubuhan ini membuktikan komitmen UMK ke arah mencapai hasrat PENYAYANG memupuk kesedaran terhadap aktiviti kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial korporat dalam kalangan pelajar IPT. Setakat ini, terdapat 26 Kelab Penyayang ditubuhkan di universiti seluruh negara. Setiap Kelab Penyayang disyaratkan untuk mengadakan kerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Oleh hal yang demikian Kelab Penyayang UMK telah berjaya mengadakan kerjasama dengan Kelantan Autism Care Centre (KACC) yang disambut baik oleh pengarahnya Encik Shafrry Mohd Sarif.\nKehadiran sukarelawan melalui kerjasama ini dijangka akan membantu melicinkan operasi NGO tersebut. Keanggotaan Kelab Penyayang di UMK melibatkan pelajar yang merentas fakulti. Penasihat kelab pelajar ini daripada Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan berdasarkan bidang kepakaran yang diperlukan, iaitu psikologi, kerja sosial dan pembangunan komuniti." "Krisis Sistem Kewangan dan Hadiah Nobel Ekonomi 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada 10 Oktober 2022 lalu, pemenang bagi Hadiah Sveriges Riksbank 2022 dalam Kajian Ekonomi bagi Memperingati Alfred Nobel (The 2022 Sveriges Riksbank Prize in Economic Sciences in Memory of Alfred Nobel) telah pun diumumkan. Anugerah ini diberikan kepada tiga orang ahli ekonomi, iaitu Ben S. Bernanke, Douglas W. Diamond dan Philip H.Dybvig dalam sebuah majlis di Royal Swedish Academy of Sciences di Stockholm.\n\nJawatankuasa Hadiah Nobel Ekonomi menjelaskan bahawa pengiktirafan ini diadakan bagi menghargai sumbangan ketiga-tiga orang pemenang tersebut dalam \u201cmempertingkat tahap pemahaman dunia tentang peranan bank dalam ekonomi, terutamanya sewaktu krisis kewangan berlaku, serta langkah untuk mengawal pasaran kewangan\u201d. Tore Ellingsen, Pengerusi Jawatankuasa bagi Hadiah Disiplin Ekonomi, menambah, \u201cSudut pandang para penerima hadiah pada kali ini telah menambah keupayaan untuk mengelakkan daripada krisis yang serius dan jamin keluar (bailout) yang mahal. Hadiah Nobel Ekonomi turut merangkumi ganjaran wang sejumlah 10 Juta Swedish kronor untuk dikongsi secara sama rata antara pemenang.\nPengiktirafan ini umumnya disambut baik oleh sebahagian besar komuniti ahli akademik, termasuklah beberapa orang pemenang Hadiah Nobel Ekonomi yang sebelumnya. Misalnya Paul Krugman, penerima Hadiah Nobel Ekonomi Tahun 2008 yang menyebutkan bahawa model ekonomi Diamond-Dybvig-Bernanke menjernihkan ketaksaan teori masalah serbuan bank (bank run) secara menyeluruh.\nMeskipun begitu, sebahagian pemikir ekonomi lain, terutamanya dalam tradisi ekonomi Heterodoks dan revisionis, mengkritik pemilihan pemenang Hadiah Nobel Ekonomi pada tahun ini. Sidang Editorial Wall Street misalnya mengkritik pemilihan Ben Bernanke sebagai pemenang dengan alasan beliau gagal menjangka dan menguruskan krisis kewangan tahun 2008 yang akhirnya mengakibatkan kemelesetan besar pada peringkat global.\nAdam Tooze, sejarawan ekonomi tersohor dengan karyanya Crashed: How a Decade of Financial Crises Changed the World (2018), menyifatkan pemilihan pemenang Hadiah Nobel Ekonomi \u201csekadar mengiktiraf dimensi terlemah dalam pemikiran makroekonomi moden\u201d. Steve Keen, penganalisis ekonomi bermazhab heterodoks, mengibaratkan Hadiah Nobel Ekonomi 2022 seperti \u201cmenganugerahkan tukang bakar atas sumbangannya sebagai pemadam kebakaran.\u201d Tambah beliau lagi, pengiktirafan ini hanya akan \u201cmengekalkan cara fikir yang salah tentang bank dan krisis kewangan, seterusnya membungkam model-model perbankan dan krisis kewangan lain yang lebih realistik\u201d.\nTentunya pemilihan pemenang bagi setiap kategori Hadiah Nobel tidak pernah lekang daripada kritikan. Selepas krisis kewangan yang melanda dunia pada tahun-tahun sebelumnya telah membuka ruang perbahasan dan penilaian semula tentang fungsi dan peranan sebenar sistem perbankan dan pasaran kewangan dalam ekonomi global. Kritikan-kritikan yang dilontarkan ini sebenarnya hanyalah lanjutan daripada persoalan yang timbul daripada krisis sebelumnya.\nKetiga-tiga orang pemenang Hadiah Nobel Ekonomi pada tahun ini mempunyai latar yang akademik yang agak berbeza. Douglas W. Diamond memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Yale University dan kini menjawat jawatan sebagai Profesor, Merton H. Miller mempunayi kepakaran dalam bidang Kewangan di Universiti Chicago. Philip H. Dybvig pula merupakan pemegang kerusi Boatmen\u2019s Bancshares dalam bidang perbankan dan kewangan di Universiti Washington. Douglas Diamond dan Philip Dybvig menulis kertas kajian berjudul \u201cBank Runs, Deposit,Insurans and Liquidity\u201c (1983) yang merangka model teoritikal tentang peranan bank dalam ekonomi serta punca mereka terdedah dengan masalah serbuan bank (bank run).\nPenerima Hadiah Nobel Ekonomi ketiga, Ben S. Bernanke, barangkali lebih dikenali berbanding dengan dua orang ahli ekonomi tersebut. Beliau merupakan mantan Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) ke-14 (2006 \u2013 2014) dan bertanggungjawab menangani masalah krisis ekonomi pada tahun 2008 di AS. Sebelum menjawat jawatan sebagai Pengerusi Rizab, Bernanke merupakan ahli ekonomi yang mula dikenali melalui kertas kajian beliau, \u201cNonmonetary Effects of the Financial Crisis in the Propagation of the Great Depression\u201d (1983). Kertas kajian inilah yang menyumbang kepada pemilihan beliau untuk Hadiah Nobel Ekonomi tahun ini.\nKertas kerja yang disediakan oleh Jawatankuasa Hadiah Nobel Ekonomi, \u201cFinancial Intermediation and the Economy\u201d, menyebutkan bahawa kajian ketiga-tiga orang pemenang saling berhubung kait dan berlatarkan kemelesetan besar yang melanda dunia sekitar tahun 1930-an. Tempoh ini menyaksikan kemerosotan ekonomi yang paling lama dalam sejarah dunia. Melalui kertas kajian mereka, Douglas Diamond dan Philip Dybvig memperkenalkan \u201cteori kematangan transformasi\u201d bagi menjelaskan langkah institusi bank yang beroperasi melalui deposit permintaan bagi membiayai projek-projek besar terdedah dengan masalah serbuan bank (bank run). Serbuan bank umumnya terjadi apabila sejumlah pelabur atau pendeposit wang di bank menarik wang simpanan mereka secara mendadak atas sebab-sebab tertentu, sekali gus mengganggu proses perbankan sedia ada. Kajian Diamond dan Dybvig menunjukkan bahawa hal ini boleh berlaku bukan hanya disebabkan oleh panik atau pengurangan penawaran wang semata-mata.\nKesimpulan ini diperkukuh oleh kajian empirikal Ben Bernanke yang menunjukkan kemerosotan ekonomi sewaktu kemelesetan besar melarat akibat daripada kegagalan sistem perbankan serta penguncupan kadar pengeluaran pinjaman yang memberikan kesan besar kepada kegiatan ekonomi. Penemuan ini, menurut kertas penjelasan Jawatankuasa Hadiah Nobel Ekonomi, disifatkan sebagai \u201cidea baharu\u201d yang berbeza daripada generasi ahli ekonomi sebelumnya yang melihat kegagalan bank hanyalah sebagai kesan kepada kemerosotan ekonomi. Kajian Bernanke menunjukkan bahawa pengurusan kredit sendiri merupakan antara faktor penting yang menjejaskan pelaburan dalam ekonomi dan pencetus kepada krisis. Sepertimana yang disimpulkan oleh Bernanke sendiri melalui wawancara bersama Brooking Institute pada tahun 2018.\nIdea-idea yang disambut oleh Jawatankuasa Hadiah Nobel melalui pemilihan pemenang Hadiah Nobel Ekonomi pada kali ini menerima kritikan yang hebat daripada sebahagian ahli akademik. Pertamanya, menurut sebahagian besar penganalisis ekonomi, ketiga-tiga pemenang Hadiah Nobel Ekonomi tersebut masih bersandar pada model perbankan yang sudah lapuk. Model ini melihat peranan bank hanya sebagai \u201cpengantara\u201d antara penyimpan wang dengan pelabur. Walhal, realitinya bank mampu memberikan pinjaman kepada pelabur tanpa sebarang simpanan atau deposit. Maksudnya, sistem bank pada hari ini sebenarnya berupaya memunculkan wang secara ex nihilo, iaitu tanpa apa-apa!\nFormula \u201cpinjaman bergantung pada deposit\u201d sudah lama ditolak oleh kebanyakan penganalisis ekonomi pada masa ini . Bahkan, hal tersebut turut diakui oleh Rizab Persekutuan AS sepertimana yang tertulis dalam salah sebuah kertas kajiannya, \u201cRIP Money Multiplier\u201c. Pemikiran mazhab ekonomi pasca-keynesian turut membalikkan formula lama tersebut. Pada hakikatnya, aspek pinjamanlah yang mencipta deposit.\u00a0 Pinjaman merupakan mekanisme utama bagi membiayai operasi syarikat dan pelabur (termasuklah gaji pekerja) dalam ekonomi yang pada akhirnya membuahkan deposit yang tersimpan dalam bank.\nPengkritik seperti Adam Tooze dan Steve Keen pula melihat pengiktirafan terhadap ketiga-tiga pemenang Hadiah Nobel Ekonomi tersebut sebenarnya mengendahkan sumbangan penganalisis ekonomi di luar arus perdana yang sudah sekian lama mencabar model sistem perbankan sedia ada. Tiga orang tokoh ekonomi yang dirujuk dalam hal ini ialah Irving Fisher, Hyman Philip Minsky, dan Charles P. Kindleberger. Seawal tahun 1933 lagi, Irving Fisher, mantan Presiden Persatuan Ekonomi AS pada tahun 1918,\u00a0 melalui kertas kajian \u201cThe Debt-Deflation Theory of Great Depressions\u201d yang berhujah bahawa kemelesetan besar pada tahun 1930-an berpunca daripada pengeluaran pinjaman berlebihan, diikuti dengan deflasi.\nMinsky mengembangkan lagi idea ini menjadi Hipotesis Ketidakstabilan Kewangan (Financial Instability Hypothesis). Steve Keen pula merangka sebuah model berdasarkan hipotesis Minsky ini untuk menangkap perilaku bank dalam sesebuah ekonomi secara lebih realistik dan menyeluruh. Melalui model ekonomi Hipotesis Ketidakstabilan Kewangan inilah Steve Keen dan sebahagian kecil penganalisis ekonomi lain, mampu meramal letupan gelembung hartanah (housing bubble) yang mencetuskan krisis kewangan pada tahun 2008, seawal sejak tahun 2005 lagi.\nDari satu sisi, penganugerahan Hadiah Nobel Ekonomi kepada Bernanke, Diamond, dan Dybvig melambangkan satu petanda yang positif dalam mengulangi tanggapan serta model-model sistem perbankan yang sedia ada. Krisis hartanah dan gadai janji subprima mengisyaratkan kegagalan pandangan sarwa ekonomi neoklasik dalam mempersiapkan ahli ekonomi untuk berdepan dengan krisis berskala besar seperti ini. Suatu perubahan besar dan mendasar harus dijalankan dan perbahasan sekitar pemilihan Hadiah Nobel Ekonomi ini diharapkan menjadi pemula kepada perubahan ini." "DBP dan Kumpulan Industri Kreatif Jerman Teroka Potensi Kerjasama dalam Dunia Perbukuan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerima kunjungan hormat daripada Kumpulan Industri Kreatif dari Jerman pada petang tadi. Kumpulan Industri Kreatif tersebut diketuai oleh Puan Claudia Kaiser yang merupakan Naib Presiden Frankfurt Book Fair, manakala DBP pula diketuai oleh Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP mewakili Ketua Pengarah DBP.\nKunjungan tersebut bertujuan untuk meneroka potensi dan kerjasama dua hala dalam bidang penerbitan buku selain membincangkan beberapa perkara dalam usaha merancakkan lagi dunia perbukuan. Delegasi tersebut juga diwakili oleh beberapa individu yang mempunyai pelbagai latar belakang dan kemahiran dalam bidang tertentu seperti penerbitan buku digital, produksi filem dan animasi, serta penerbitan buku kanak-kanak dan pendidikan.\nAntara ahli Kumpulan Industri Kreatif tersebut yang hadir termasuklah Puan Anja von Kampen (Ketua Pegawai Eksekutif Vision X Mediengesellschaft), Puan Britta Blottner (Penerbit Blottner Verlag), Encik Julian Holgert (Pengasas TimeLeap VR), Encik Sven Diedrich (Pengarah Bahagian Hak Cipta Negara Asing Piper Verlag), Yasmin C. Rams (Penerbit Filem Parennial Lens) dan Encik Hasri Hasan (Pengasas Bookonomics Asia).\nDalam ucapan alu-aluan pertemuan tersebut, Tuan Haji Razali Che Mat merakamkan penghargaan kepada delegasi dari Jerman tersebut kerana membuka ruang untuk meneroka peluang kerjasama dalam dunia perbukuan dengan DBP.\nAntara perkara menarik yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut termasuklah kaedah penerbitan digital melibatkan kategori buku kanak-kanak selain potensi untuk menterjemahkan buku kanak-kanak yang berkualiti ke dalam bentuk animasi yang menarik dan berupaya menumbuhkan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak. Menurut Puan Anja von Kampen, tema besar dalam kehidupan seperti kegembiraan, kehilangan dan persahabatan merupakan unsur menarik yang boleh dijadikan kandungan bahan pendidikan bagi kanak-kanak.\nSelain itu, pertemuan tersebut juga menyentuh hal berkaitan dengan buku bukan fiksyen. Walaupun kebanyakan pembaca lebih tertarik kepada buku fiksyen seperti novel, namun penerbitan buku bukan fiksyen juga merupakan perkara yang boleh menyemarakkan industri perbukuan. Puan Britta Blottner menyatakan bahawa bahan bacaan bukan fiksyen yang berkaitan dengan penyakit dementia menjadi tarikan di Jerman, selain buku yang bertemakan motivasi.\nSelanjutnya, perbincangan juga tertumpu kepada pelesenan karya dan hal ehwal penterjemahan karya sastera yang diterbitkan oleh DBP. Antara karya yang dicadangkan untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Jerman termasuklah karya Sasterawan Negara dan karya yang mempunyai nilai universal yang berpotensi untuk diangkat ke persada antarabangsa.\nMenurut Encik Hasri Hasan, iaitu Pengasas Bookonomics Asia yang juga mantan Pengurus Kanan Perbadanan Kota Buku, kunjungan Kumpulan Industri Kreatif dari Jerman tersebut memberikan peluang kepada DBP untuk bekerjasama dengan pemain industri perbukuan pada peringkat antarabangsa dan pada masa yang sama mengentengahkan karya DBP ke peringkat global.\nTurut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera serta Ketua Editor dan Ketua Bahagian di Jabatan Penerbitan." "Program Bank Makanan:Gagasan Baharu Zakat di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMakanan merupakan sumber yang membekalkan nutrien dan menyediakan tenaga untuk aktiviti serta membantu dalam memastikan semua fungsi badan bergerak secara aktif. Kehidupan tanpa makanan boleh menjejaskan kesihatan. Sejarah membuktikan bahawa Mahatma Gandhi ketika berusia 74 tahun telah mengadakan mogok lapar selama 21 hari sebagai protes untuk memerdekakan India. Walaupun beliau mampu bertahan untuk hidup dek mogok tersebut, kesihatannya turut terjejas.\nSecara umumnya, makanan merupakan keperluan asas yang paling penting untuk kehidupan manusia. Namun begitu, terdapat dalam kalangan masyarakat yang sukar untuk mendapatkan makanan dalam kehidupan seharian mereka biarpun Indeks Sekuriti Makanan Global atau Global Food Security Index (GFSI) yang dikeluarkan oleh The Economist Intelligence Unit (EIU) pada 2021 menunjukkan Malaysia berada dalam senarai lapan terbaik dalam kalangan negara Asia Pasifik dan berada di tangga kedua terbaik bagi Asia Tenggara, iaitu selepas Singapura. Bagi mengatasi isu ini, inisiatif program bank makanan (food bank) dilihat mampu membantu golongan miskin mendapatkan akses kepada makanan.\nLembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) merupakan antara institusi zakat yang mempelopori gerakan dan gagasan baharu inisiatif program bank makanan di Malaysia. Objektifnya adalah untuk memastikan seluruh penduduk Kedah yang terdiri daripada golongan fakir dan miskin khususnya yang beragama Islam mendapat akses kepada makanan apabila mereka memerlukan. Kini, terdapat 578 buah masjid yang terlibat dalam inisiatif ini.\nProgram bank makanan ini telah diperkenalkan oleh LZNK sejak 2018 dengan peruntukan sebanyak RM1.96 juta. Sistem bantuan ini diakui keberkesanannya dan golongan yang memerlukan telah mendapat pelbagai manfaat daripada sistem ini. Sekiranya terdapat individu yang kelaparan akibat terputus sumber pendapatan, mereka boleh terus menghubungi pihak pengurusan masjid untuk mengambil set bekalan makanan berkenaan. Antara jenis makanan yang dibekalkan oleh LZNK di masjid ialah beras, gula, teh, kopi, telur, sardin, tepung, kicap, sos, bihun dan lain-lain. Jenis-jenis makanan ini telah dipilih mengikut aspek dan bersifat tahan lasak serta tidak mudah rosak. Semua produk tersebut dikeluarkan oleh syarikat Muslim. Masjid di seluruh Kedah juga sentiasa dipantau oleh LZNK bagi memastikan bekalan makanan sentiasa cukup dan dihantar dengan segera sekiranya berkurangan.\nInisiatif dan projek ini telah dikongsi oleh Dato\u2019 Syeikh Zakaria Othman, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK sewaktu berkongsi pandangan beliau bertajuk \u201cThe Role of Zakat & Waqf in Mitigating the Impact of Global Food and Energy Crisis\u201d dalam World Zakat and Waqf Forum (WZWF) di Leeds, United Kingdom pada 27 hingga 30 September 2022. Sebanyak 44 buah negara anggota menyertainya dan mendengar sendiri pengalaman LZNK mengurus inisiatif program bank makanan di pentas besar dunia sebaris dengan tokoh-tokoh zakat dunia yang lain.\nProgram bank makanan ini sebenarnya telah menepati peranan penting institusi zakat dalam mengurangkan kadar kemiskinan dan kelaparan dalam kalangan umat Islam. Secara tidak langsung inisiatif ini adalah selaras dengan objektif Syariah (Maqasid al Shariah) yang meliputi kewajipan yang lima (dharuriyah al Khamsah), iaitu perlindungan agama, nyawa, keturunan, akal dan harta. Semakin bertambah jumlah pembayar zakat, semakin banyak agihan boleh dibuat menerusi program bank makanan demi melindungi nyawa.\nTambahan pula, inisiatif program bank makanan yang dilakukan oleh LZNK sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui matlamat sifar kelaparan (zero hunger). Agenda SDGs yang merangkumi tiga dimensi utama, iaitu sosial (56%), ekonomi (20%) dan alam sekitar (24%) telah dipersetujui oleh 193 orang ahli PBB pada 25 September 2015. Secara keseluruhannya, SDGs mempunyai 17 matlamat dengan 169 petunjuk untuk dicapai berdasarkan model global. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, SDGs ini dijangka dapat dicapai oleh Malaysia pada tahun 2030.\nSudah tiba masanya institusi zakat di negeri seluruh Malaysia menyahut gagasan baharu inisiatif program bank makanan ini. Dalam jangka masa pendek, inisiatif ini mampu menjamin golongan fakir dan miskin untuk mendapatkan semua keperluan asas yang diperlukan dengan lebih mudah dan cepat. Inisiatif ini juga boleh mengurangkan kadar kemiskinan yang menjadi antara masalah utama dalam negara membangun. Selain itu, inisiatif ini turut mengurangkan persepsi negatif oleh masyarakat terhadap isu agihan yang dijalankan oleh institusi zakat. Di samping itu, institusi zakat juga digalakkan berkolaborasi bersama universiti awam dan swasta untuk menjalankan pembangunan dan penyelidikan serta inovasi terhadap inisiatif ini. Oleh itu, inisiatif program bank makanan ini boleh meyakinkan pembayar zakat untuk terus membayar zakat mereka kepada institusi zakat." "Raja Perlis Berkenan Menerima Taklimat Status Pelaksanaan Projek Negeri Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menerima taklimat Status Pelaksanaan Projek dan Kerja-kerja Penyelenggaraan Persekutuan dan Negeri di Negeri Perlis yang berlangsung di Balai Mengadap Biru Istana Arau, tengah hari tadi.\nDalam majlis tersebut, Tuanku Raja Perlis amat prihatin terhadap kemajuan negeri, malah menitikberatkan hal-hal berkaitan dengan kesejahteraan hidup rakyat. Titah baginda dengan beberapa pandangan kepada pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) dan juga Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri.\nBerangkat sama dalam majlis ini ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.\nTaklimat dipersembahkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) Malaysia Dato\u2019 Wira Wan Ahmad Uzir Haji Wan Sulaiman.\u00a0Turut hadir ialah Pengarah Kanan KKR,\u00a0Dato\u2019 Ir. Hj Zulkipli Hj Nasri dan Pengarah\u00a0JKR Negeri Perlis Ir. Mohd Shahril Mohd Said.\nSebelum ini, pada penghujung 1990-an dan awal 2000-an,\u00a0Wan Ahmad Uzir pernah bertugas di Perlis sebagai Penolong Pengarah Pembangunan, Pejabat Pembangunan Negeri Perlis (ICU JPM),\u00a0manakala Zulkipli pula berkhidmat di Perlis sebagai Penolong Jurutera Bangunan JKR Negeri Perlis dari 1 Oktober 1997 hingga 15 Oktober 2002.\nMengulas lanjut, terdapat pelbagai \u00a0\u201cProjek Dalam Perancangan\u201d dan \u201cProjek Yang Sudah Dalam Pembinaan\u201d dilaksanakan bagi peringkat persekutuan dan negeri yang dipersembahmaklumkan kepada Tuanku Raja dan Tuanku Raja Muda." "PPPC: Memacu Perkembangan Sistem Pendidikan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nProgram Pendidikan Pintar Cerdas (PPPC) merupakan satu daripada inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Menerusi program ini, murid yang mengikuti PPPC akan mendapat akses kepada pengajaran dan pembelajaran khusus dan luwes daripada pakar dalam memperkembangkan lagi potensi mereka secara optimum. Pelaksanaan PPPC juga merupakan satu daripada usaha untuk membangunkan modal insan ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berdaya saing pada peringkat global.\nPPPC menjadi antara program yang penting kepada perkembangan sistem pendidikan Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana inisiatif dalam program ini memberikan perspektif baharu kepada laluan pendidikan murid yang mencapai tahap IQ melebihi 130. Dalam hal ini, murid pintar cerdas merujuk murid yang memiliki dan menunjukkan potensi serta pencapaian yang sangat menyerlah melebihi murid sebaya dalam satu daripada aspek sama ada intelek, kreativiti, kemahiran, kerohanian atau gabungan aspek tersebut melalui satu atau lebih disiplin ilmu atau bakat tertentu.\nMenerusi PPPC, murid pintar cerdas akan menerima pendidikan yang disusun bersesuaian dengan tahap kepintaran mereka melalui kurikulum yang digubal bagi mengambil kira aspek pengayaan, pecutan dan mampatan. Program ini juga turut memberikan penekanan kepada peningkatan profesionalisme guru-guru di Malaysia. Dalam hal ini, Akademi Sains Pendang (ASP) yang merupakan sekolah pertama khusus untuk murid pintar cerdas di bawah tadbir urus KPM sepenuhnya. Pembukaan sekolah ini telah berjaya memberikan pendedahan dan pengalaman baharu kepada barisan guru-guru dalam mengajar murid yang mempunyai skor IQ 130 dan ke atas. Program ini juga akan membuka laluan pendidikan kepada murid pintar cerdas ke peringkat tertinggi dan diharapkan hingga ke peringkat Anugerah Nobel Laureate.\nSepanjang tempoh 2021, KPM memberikan fokus kepada tiga perkara utama dalam PPPC, iaitu:\n\u00a0\nDalam Laporan Tahunan 2021 PPPM 2013-2025, KPM telah menyenaraikan tiga pencapaian yang membanggakan, iaitu Latihan dan Perkongsian Ilmu; Pengoperasian PPC Kohort Pertama; dan Pemilihan Murid Pintar Cerdas.\n\nMenerusi Latihan dan Perkongsian Ilmu, Latihan Guru dan Jurulatih Utama PPC, Seramai 19 orang guru yang dikenal pasti telah diberikan latihan oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dengan lapan kali latihan melibatkan lapan modul. Sebanyak 30 orang Jurulatih Utama (JU) turut diberikan pendedahan oleh 14 JU kohort pertama yang menerima latihan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebanyak lapan modul latihan berkenaan termasuklah Modul 1: Pengenalan kepada Pendidikan Cerdas dan Berbakat; Modul 2: Pencarian dan Pengurusan Pintar Cerdas; Modul 3: Pembinaan Kurikulum Pintar Cerdas; Modul 4: Pedagogi Murid Pintar Cerdas dengan Kaedah Terbeza; Modul 5: Pengukuran dan Penilaian dalam Pintar Cerdas; Modul 6: Pengurusan Organisasi Murid Pintar Cerdas; Modul 7: Isu dan Sokongan Psikologi/Kaunselor Murid Pintar Cerdas; dan Modul 8: Amal.\nSementara itu, Pengoperasian PPPC Kohort Pertama juga menyaksikan pendaftaran murid ke ASP, iaitu pada tahun 2021, dengan jumlah sebanyak 47 orang murid daripada 70 orang murid kohort pertama yang ditawarkan telah melaporkan diri pada 18 April 2021. Ambilan kedua pula menyaksikan sebanyak 41 orang murid daripada 47 orang murid telah mendaftar di ASP, iaitu pada 24 Julai 2021 secara dalam talian. Pada keseluruhannya, sejumlah 88 orang murid Asas 1 telah mengikuti pembelajaran di bawah program ini di ASP.\nPada tahun 2021, dalam pemilihan Murid Pintar Cerdas menyaksikan proses mengenal pasti murid untuk mengikuti PPPC berfokuskan murid yang layak di kawasan utara Malaysia berdasarkan faktor lokasi tempat tinggal dan kekeluargaan mereka.\u00c2\u00a0Dalam Laporan Tahunan 2021 PPPM 2013-2025 pula, KPM berusaha untuk meningkatkan keberkesanan pelaksanaan PPPC agar apa-apa yang dihasratkan mampu dicapai oleh negara. Maka itu, KPM akan terus membangunkan Model Pendidikan Pintar Cerdas yang bersesuaian dengan keperluan murid- murid bagi menjamin kelestarian PPPC. Pada tahun 2022, Kementerian terus menambah baik aspek pembangunan dan pelaksanaan PPPC melalui:\nPenyebarluasan PPPC bagi Pemilihan Murid Pintar Cerdas:\nProgram ini akan disebarluaskan kepada semua jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) bagi memastikan kefahaman pada semua peringkat KPM. Pada tahun 2022, dua buah negeri dipilih bagi tujuan Townhall, iaitu Sabah dan Sarawak yang akan melibatkan 24 buah PPD di Sabah dan 31 buah PPD di Sarawak. Tujuan utama townhall adalah untuk memberikan kefahaman kepada pihak sekolah, dan ibu bapa dan murid tentang kepentingan murid menduduki Ujian Saringan IQ; menggalakkan penyertaan murid untuk menduduki ujian bagi negeri yang terpilih.\nPembangunan Pelan Hala Tuju Program Pintar Cerdas:\nMeneroka pelbagai pendekatan dalam memastikan persediaan masa hadapan bagi PPPC, iaitu dengan meneroka laluan pendidikan murid pintar cerdas dan peningkatan profesionalisme guru serta pentadbir; dan membangunkan kerangka pelan hala tuju PPPC yang dipersetujui dan akan diluluskan oleh Pengurusan Tertinggi KPM.\nPembangunan Modul-modul latihan dan Modul Pembelajaran Asas 1:\nPembangunan modul latihan dan pembelajaran bagi persediaan tahun 2026 akan terus diberikan tumpuan menerusi pelaksanaan program tanpa kebergantungan pada pihak luar yang melibatkan Pembangunan Modul Latihan Guru; Pembangunan Modul Latihan Pentadbir dan Pembangunan Modul Pembelajaran Murid Asas 1.\nPPPC berada pada landasan yang tepat dalam usaha negara menyediakan akses pendidikan yang paling berkesan untuk pelajar pintar cerdas. Generasi hebat ini semestinya memerlukan sokongan yang padu dan laluan yang jelas untuk mengasah bakat dan kepintaran mereka agar negara dapat meletakkan mereka sebagai insan yang menyinari pembangunan dan kemajuan negara pada masa akan datang." "Pelajar UUM Pulang Mengundi Tunai Tanggungjawab\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nHari ini, sebanyak 249 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berasal dari Perak pulang ke kampung halaman menaiki lapan buah bas percuma yang diselaraskan oleh\u00a0Kelab Patriot Chapter Perak UUM untuk memastikan mereka dapat menunaikan tanggungjawab untuk mengundi buat kali pertama.\nMereka merupakan antara 21 juta pengundi berdaftar bakal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan berlangsung pada hari Sabtu ini.\nDalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Naib Canselor, Profesor\u00a0Dr. Haim Hilman Abdullah berharap setiap pelajar dapat memainkan peranan sebaik-baiknya dalam memilih calon yang benar-benar menepati kriteria selaku pemimpin.\nBagi pelajar Sarjana Muda Perakaunan, Muhammad Iqmal Qamil Mawar, beliau berasa teruja kerana dapat membuang undi buat kali pertama dalam PRU-15 ini.\nPerasaan ini turut dikongsi pelajar Sarjana Muda Sains (Statistik Industri), Chan Wen Hui yang sedang menunggu bersama-sama\u00a0rakannya\u00a0seawal pukul 7.30 pagi untuk pulang ke kampung halaman di Teluk Intan, Perak.\n\u201cPada pilihan raya kali ini, saya\u00a0ingin memilih kerajaan yang\u00a0benar-benar\u00a0bertanggungjawab dan bijak dalam mentadbir negara dan penting agar dapat memenuhi aspirasi, serta\u00a0kehendak dan keperluan rakyat,\u201d kata\u00a0beliau.\nSementara itu,\u00a0pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Reenha Rajendran bertekad untuk memanfaatkan peluang ini untuk turun mengundi,\u00a0selain meluangkan masa bersama-sama\u00a0keluarga sempena cuti semester hingga 26 November ini.\n\u201cPada pandangan saya, pilihan raya merupakan satu daripada proses untuk memilih calon yang sesuai untuk memerintah. Calon ini akan menjadi wakil kepada rakyat. Mengundi pula menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia yang wajib dilaksanakan sebagai tanda sayang pada negara,\u201d katanya.\nPelajar Sarjana Muda Perakaunan, Nur Qistina Aqilah berkata, dia berpandangan bahawa pemilihan pemimpin yang bersih, berintegriti, boleh berkhidmat untuk rakyat adalah sangat penting, dan bukannya membuat sesuatu untuk kepentingan diri.\nBeliau turut menyambut baik tindakan kerajaan yang menukar polisi pengundian dalam pilihan raya daripada umur 21 kepada 18 tahun bagi memilih dalam PRU kali ini.\n\u201cPendekatan undi 18 tahun amat bagus kerana suara orang muda dapat didengari dan mahasiswa dapat memainkan peranan dalam memilih kerajaan.\n\u201cSaya berharap kerajaan baharu yang akan menerajui negara ini dapat memperkasakan sistem pendidikan dan melaksanakan pemerintahan yang adil kepada rakyat tanpa mengira bangsa,\u201d ujarnya yang pulang ke Ipoh.\nPada PRU-15 ini, dijangka\u00a0sebanyak\u00a033 ribu pelajar UUM dapat melaksanakan amanah buat kali pertama sebagai pengundi apabila Undi18 diwarta dan dikuatkuasakan bermula pada 15 Disember 2021." "Perpustakaan Awam Negeri Pahang-DBP Tingkatkan Bakat dan Potensi Kanak-Kanak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuantan \u2013\u00a0Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang menganjurkan Karnival Kanak-Kanak Sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia pada 8 hingga 12 November 2022.\nMenurut Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang, Puan Nor Zahira Muhammad Azmi, program ini diadakan untuk memberikan penghormatan dan pengiktirafan kepada kanak-kanak dan mencetuskan kesedaran kepada golongan dewasa agar mempunyai tanggungjawab untuk memberikan perlindungan serta menjaga kebajikan golongan kanak-kanak.\nAnak-anak ialah generasi pewaris bangsa, penerus tradisi budaya dan tunggak kecemerlangan negara. Maka itu, anak-anak perlulah dididik dan dipelihara sebaik-baik yang mungkin bagi menjadikan mereka \u2018permata\u2019 yang berkilau. Permata tersebut bukan sahaja akan menentukan maruah diri dan keluarga, malah terhadap negara tercinta,\u201d kata beliau ketika merasmikan majlis penutupan karnival.\nPenganjuran karnival ini telah diadakan usaha sama daripada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang bersama-sama rakan sinerginya, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah, Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Pahang, Exploria Skillseeds Sdn. Bhd., MBS Bookstore Sdn. Bhd., Aman Palestin dan Persatuan Pecinta Exotic Pahang (PPEP).\nObjektif karnival ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan potensi semua aspek perkembangan kemahiran asas dalam kalangan kanak-kanak; melahirkan generasi yang berdisiplin, bertanggungjawab dan berinovasi pada masa akan datang; memberikan penghormatan dan pengiktirafan masyarakat kepada kanak-kanak untuk mendapatkan hidup yang aman dan harmoni; dan mendekatkan perpustakaan dengan komuniti masyarakat khususnya terhadap pelajar sekolah.\nAntara aktiviti menarik yang dilakukan, termasuklah\u00a0Pertandingan Pidato Peringkat Sekolah Rendah yang dimenangi oleh Aisyah Fadhlina Mohd Hafiz, SK Felda Selancar 2, Rompin sebagai johan; Nur Alya\u2019 Faqihah Mohd Zalani,\u00a0SK Peramu Jaya, Kuantan\u00a0(tempat kedua); Muhammad Azizan Rahimi Saiful, SK Semambu\u00a0(tempat ketiga); Nurul Aishah Abdul Manan,\u00a0SK Keratong 10, Rompin\u00a0(tempat keempat); dan Aina Qaisara Mohd Rizal,\u00a0SK Desa Jaya, Maran\u00a0(tempat kelima).\nDalam perkembangan yang sama, terdapat juga Bengkel Teknik Bercerita yang disampaikan oleh Encik Nor Azhar Ishak (Cikgu Nai) dan Puan Milyana Arshad diadakan sebelum dilangsungkan Pertandingan Bercerita: Cerita Rakyat. Pertandingan ini dimenangi oleh Noor Aisyah Humaira Mohd Azhar, SK Bunut Rendang\u00a0sebagai johan; Rizq Fayyadh Abdul Halim,\u00a0SK Tunku Azizah\u00a0(tempat kedua); Nurul Farhana Awatif Mohd Ibrahim, SK Pengkalan Tentera\u00a0(tempat ketiga) dan tiga hadiah sagu hati yang dimenangi oleh Nurul Farha Marissa Nor Shahrul,\u00a0SK Seri Melati; Tuan Alif Firdaus Abd Muiz, SK Teruntum dan Sharifah Dhia Larissa Syed Mohd Lufti, SK Methodist.\nPertandingan Bersajak Peringkat Tahap 1 pula dimenangi oleh Nur Irdina Abdul Jalil,\u00a0SK Teruntum\u00a0(johan); Siti Aisyah Sharulazwa,\u00a0SK Galing (naib johan), manakala Pertandingan Bersajak Tahap 2 pula dimenangi oleh Tuan Alif Firdaus Abdul Muiz,\u00a0SK Teruntum (johan); Safiyyah Mohd Hafiz, SK Tunku Azizah (naib johan); dan Alessa Amani Mohd Nazari, SK Tunku Azizah (tempat ketiga).\nPertandingan Silang Kata pula dimenangi oleh Fareez Hazimie Mozaid (johan), Muhammad Adam Mustaffa Muhamad Nor Fikri (naib johan), Muhammad Irfan Darwish (tempat ketiga), Nur Irdina Asfa Mohd Halim Hafiz (tempat keempat), dan Leo Ching Jia Cheng (tempat kelima).\nPertandingan Dengarlah Ceritaku\u00a0pula\u00a0dimenangi oleh Noor Rozaireen Sofe Ramdan (johan), manakala Nurul Aisyah Azhar (naib johan), Nurul Afifah Kamaruladnan (tempat ketiga), Siti Nurulakma Yahaya (tempat keempat), Siti Nur Asyiah Zakaria (tempat kelima) dan Muhammad Farid Hood (tempat keenam).\nPertandingan Ulasan Buku DBP melalui Video (Kategori Terbuka) dengan kerjasama DBP Wilayah Tengah dimenangi oleh Wan Muhammad Hanif Wan Abd Hamid (johan), Nur Atikah Jamaludin, Azlini Baharuddin (tempat ketiga), Siti Nur Asyiah Zakaria (tempat keempat), Nurul Afifah Kamaruladnan (tempat kelima), dan Muhammad Hamka Embong (tempat keenam).\nMengulas lebih lanjut berkaitan dengan karnival ini, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang\u00a0turut melahirkan kegembiraan kerana karnival ini mencatatkan kira-kira 10\u00a0000 pengunjung sepanjang program ini berlangsung.\nTurut hadir dalam majlis ini ialah Hassan Alias, Pengarah DBP Wilayah Tengah dan Dr. Raihan Musa, Pengarah Urusan Exploria Skillseeds Sdn. Bhd." "Bahasa Melayu Memperkukuh Perpaduan Keluarga Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBahasalah yang menyatukan antara ahli keluarga dengan\u00a0jiran tetangga. Tanpa bahasa, keluarga dan jiran tetangga tidak dapat berkomunikasi dengan berkesan antara satu sama lain. Bahasa Melayu telah terbukti lama menyatukan dan mengeratkan hubungan ahli keluarga dalam kehidupan seharian. Bahasa Melayu juga terbukti menyatukan perpaduan dalam masyarakat. Bermula dengan bahasa yang baik dan bersopan santun akan memberikan erti dalam kehidupan.\nSejak dahulu lagi masyarakat Melayu menyanjung tinggi sesiapa sahaja\u00a0yang berbahasa dengan baik, betul dan tepat. Dalam kehidupan berkeluarga,\u00a0bahasa yang baik menjadi penghubung atau penyambung silaturahim dalam keluarga. Jelas\u00a0bahawa keluarga ialah unit kecil dalam sebuah masyarakat yang menggunakan bahasa sebagai alat komunikasi. Oleh itu, bahasa yang baik dan bersopan santun wajar dikekalkan dalam kehidupan seharian.\nMenurut Mustaffa Haji Daud dalam Budi Bahasa dalam Tamadun Islam, penghayatan dan amalan berbudi bahasa kian luntur dan pudar dalam kalangan setiap lapisan masyarakat amnya dan generasi muda khasnya. Hal ini berbeza daripada perbendaharaan tamadun Melayu yang diwarisi dan diperkukuh lagi oleh tamadun Islam sejak dahulu yang memperjuangkan dan mempertahankan penghayatan dan amalan berbahasa dengan baik dan berbudi bahasa yang mulia,\u00a0terpuji,\u00a0luhur,\u00a0murni dan bersopan santun.\nOleh itu, untuk mengukuhkan dan mengekalkan perpaduan dalam keluarga dan masyarakat Malaysia,\u00a0bahasa memainkan peranan yang penting. Kata-kata seperti\u00a0\u201cHidup di dunia biar\u00a0beradat/Bahasa tidak dijual beli\u201d menandakan dan menunjukkan bahawa bahasa sangat penting dalam hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan. Bahasa adalah gambaran fikiran seseorang dalam masyarakat.\nSejak dahulu lagi,\u00a0manusia dapat berfikir jika otak dan akalnya berfungsi dengan baik. Gabungan antara otak dengan\u00a0akal inilah yang kemudiannya menghasilkan fikiran yang matang. Fikiran yang matang akan menuturkan bahasa yang baik, santun, betul dan tepat dalam kehidupan keluarga dan masyarakat.\nDi samping itu, sejak dahulu lagi masyarakat Melayu turut\u00a0menganggap bahawa bahasa itu merupakan jiwa\u00a0bagi sesuatu bangsa. Bahasa juga menjadi alat mengeluarkan fikiran dan berkomunikasi dengan baik dan berkesan dalam keluarga dan masyarakat di Malaysia.\nBidalan Melayu yang mempunyai ciri prosodi, cara berperanan dalam bahasa,\u00a0iaitu menekankan tentang budi dan bahasa,\u00a0iaitu nada turun naik suara dan nada\u00a0yang berbeza mengikuti situasi penekanan maksud. Contohnya dapat dilihat pada\u00a0kata-kata seperti \u201cHidup kayu berbuah/Hidup manusia biar berfaedah, \u201cIkut rasa binasa, ikut hati mati\u201d, \u201cBawa resmi padi, makin berisi makin tunduk\u201d dan \u201cOrang berbudi kita berbahasa\u201d.\nSejak dahulu juga orang Melayu menggunakan pesanan, pepatah, bidalan dan pantun\u00a0dalam kehidupan harian. Dalam kehidupan masyarakat Melayu juga mereka menyanjung tinggi sesiapa\u00a0yang berbahasa dan berbudi. Setiap kata-kata yang keluar dari mulut seseorang akan dinilai, dirasai dan difahami sama ada menjurus kepada kebaikan atau keburukan. Masyarakat Melayu juga menganggap bahawa bahasa itu merupakan jiwa\u00a0bagi\u00a0sesuatu bangsa. Hal ini jelas dilihat melalui ungkapan\u00a0seperti\u00a0\u201cBahasa Menunjukkan Bangsa\u201d\u00a0dan\u00a0\u00a0\u201cBahasa Jiwa Bangsa\u201d yang sering didengar dan difahami.\nKonsep dan takrifan bahasa menurut ahli bahasa yang terkemuka seperti G. Trager (1949)\u00a0ialah\u00a0bahasa merupakan\u00a0suatu sistem lambang vokal yang arbitrari dan bermakna yang digunakan oleh anggota masyarakat untuk berhubung sebagai satu cara mereka bersosialisasi.\nKetika berkomunikasi dan bersosialisasi, nilai budi bahasa terpancar dalam kehidupan \u00a0keluarga dan masyarakat Melayu\u00a0serta\u00a0masyarakat Malaysia.\u00a0Antaranya termasuklah berhati-hati ketika berkata, merendah diri ketika berkata, sabar dalam berkata-kata, pemurah dengan berbudi bahasa, tekun dan rajin dalam bekerja, \u00a0cinta\u00a0akan kebenaran, menunaikan janji, muafakat, tolong-menolong, perpaduan dalam masyarakat, menghormati ibu bapa dan orang yang lebih tua, mematuhi adat\u00a0dan\u00a0menghormati raja.\nSemua amalan dan sikap ini bermula daripada pancaran dan amalan budi dan bahasa yang dipraktikkan dalam kehidupan keluarga dan masyarakat seharian. Semua bangsa memahami dan mengerti akan makna budi dan bahasa,\u00a0iaitu nilai kesopanan dan kesusilaan yang tercatat dan terpancar melalui prinsip Rukun Negara yang kelima. Hal ini sewajarnya bukan hanya diucapkan tetapi sewajarnya dipraktikkan.\nDalam Islam,\u00a0hidup berkeluarga dan bermasyarakat\u00a0memetingkan nilai adab dan budaya serta akhlak dan kesopanan sebagai fungsi masyarakat untuk merealisasikan nilai Islam. Nilai akhlak dan kesopanan sama dengan fungsinya terhadap akidah, pemahaman, syiar dan emosi dalam kehidupan. Tidak guna berilmu tinggi dan beramal ibadah yang baik jika\u00a0akhlak dan budi bahasa tidak dijaga.\nOleh itu, konsep dan nilai yang ada dalam keluarga Malaysia mestilah mempunyai\u00a0nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. Melalui nilai keterangkuman,\u00a0bahasa memainkan peranan\u00a0yang\u00a0penting terutamanya bahasa Melayu yang mampu merangkumkan\u00a0rasa kebanggaan kepada bahasa Melayu, mencintai bahasa Melayu dan menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi.\nApabila nilai keterangkuman dapat dilaksanakan akan wujudlah nilai kebersamaan,\u00a0iaitu hidup bersama dalam kehidupan\u00a0yang\u00a0aman dan damai, wujudnya rasa harmoni\u00a0dan\u00a0bersama-sama\u00a0menggunakan bahasa Melayu dengan baik, betul dan tepat. Akhirnya,\u00a0akan wujudlah nilai dan rasa kesyukuran dalam kehidupan keluarga Malaysia.\nImam al-Ghazali selanjutnya telah mengemukakan pandangan tentang\u00a0hati yang dapat diasuh, dibina dan dibentuk dalam kehidupan berkeluarga agar menghasilkan budi bahasa yang mulia dan terpuji, iaitu melalui ilmu latihan dan didikan dengan kesopanan dan kesusilaan, berbahasa baik dan bersifat adil dalam berkata-kata dan juga menjaga kelakuan.\nDisebutkan juga bahawa berkata-kata dan menjaga kelakuan itu termasuk dalam nilai budi bahasa dalam keluarga. Oleh itu, berkata-katalah yang baik-baik, lembut, berhemah dan bersopan santun. Di samping itu, jagalah kelakuan supaya tidak menyakiti ahli keluarga, jiran dan juga masyarakat. Begitulah bahasa mampu mengukuhkan ikatan perpaduan dalam keluarga dan masyarakat dalam sebuah negara.\nDalam kehidupan keluarga dan masyarakat, bahasa\u00a0daerah atau loghat atau dialek yang difahami dan diucapkan dalam keluarga dan masyarakat dapat menyatukan hubungan dalam kalangan keluarga dan masyarakat. Nilai kebersamaan ini dalam percakapan di sesuatu daerah atau negeri akhirnya mampu memberikan kesepaduan dan perpaduan yang jitu.\nSebagai contoh,\u00a0loghat dan bahasa daerah yang terdapat di negara ini \u00a0termasuklah loghat Pulau Pinang,\u00a0Kedah, Perlis, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak, dan Sabah. Apabila penutur dari setiap negeri ini memahami setiap loghat negeri,\u00a0akhirnya bahasa Melayu mampu menyatukan perpaduan dalam kalangan masyarakat.\nKini bahasa Melayu sedang dan terus berkembang,\u00a0iaitu dari segi\u00a0perkembangannya yang pesat, perubahan yang banyak dan sedang berlaku pada\u00a0bahasa Melayu. Hal ini dapat dilihat melalui penggunaan bahasa Melayu di media\u00a0sosial yang akhirnya boleh diterima pakai dan difahami oleh semua penutur dan\u00a0pengguna bahasa Melayu.\nSementara itu, bahasa Melayu pada\u00a0zaman baharu dan selepas merdeka terus berkembang\u00a0melalui penggunaan penutur bahasa Melayu yang berilmu dan yang mendapat pendidikan di sekolah melalui pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Sebagai bahasa kebangsaan negara yang berdaulat, bahasa Melayu terus menjadi bahasa rasmi negara, bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan umum dan bahasa pengantar serta bahasa ilmiah di sekolah dan institusi pengajian tinggi.\nBahasa Melayu terus berkembang dengan istilah baharu, khususnya istilah yang berkaitan\u00a0dengan\u00a0bidang teknik, sains dan teknologi, teknologi maklumat dan komunikasi\u00a0dan\u00a0kesihatan dan perubatan\u00a0yang dapat diperkukuhkan melalui aktiviti pemupukan istilah baharu yang dapat difahami dan digunakan dalam kehidupan seharian.\nSehubungan dengan itu,\u00a0mereka ini sewajarnya terus menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Mereka juga dapat meneruskan fungsi bahasa Melayu moden,\u00a0iaitu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa komunikasi yang memberikan nilai kepada bahasa Melayu sebagai nilai ekonomi, nilai pentadbiran,\u00a0nilai sentimen dan nilai sosial.\nApabila bahasa Melayu mantap dan kukuh, akan kukuhlah perpaduan dalam keluarga dan masyarakat Malaysia. Penggunaannya mestilah dimulakan di rumah, di sekolah,\u00a0dalam kehidupan kejiranan, di institusi\u00a0pengajian tinggi dan juga dalam kalangan keluarga dan masyarakat. Begitu juga penggunaan bahasa di media sosial yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya tanpa bahasa rojak.\nKekuatan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan adalah alat untuk menyatukan kaum-kaum di negara ini. Penggunaan satu bahasa,\u00a0iaitu bahasa Melayu dapat melahirkan rasa kecintaan terhadap bahasa Melayu bagi melahirkan bangsa Malaysia yang mempunyai identiti yang sama. Usaha mesti dilakukan untuk memupuk semangat kekitaan dalam Keluarga Malaysia dan bersatu padu dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal inilah yang sepatutnya menjadi cita-cita dan matlamat semua warga negara yang cinta\u00a0akan bahasa Melayu." "Undang-Undang Antilompat Parti: Sejauh Manakah Keberkesanannya?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sudah melabuhkan tirainya. Namun begitu, berdasarkan pemerhatian penulis, debaran dan kemeriahan menanti sebuah Pilihan Raya Umum (PRU) sudah mula kehilangan auranya jika dibandingkan dengan PRU sebelum ini. Hal ini dikatakan demikian kerana sesetengah pengundi sudah mula hilang kepercayaan kepada senario politik sedia ada, terutamanya selepas PRU-14.\nPeristiwa \u201cLangkah Sheraton\u201d, misalnya menjadi sedikit sebanyak kepada penghakisan kepercayaan rakyat terhadap sistem pemilihan kepimpinan sedia ada. Peristiwa ini telah memaksa Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong menggunakan kuasa prerogatif baginda yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk melantik seorang Perdana Menteri yang baharu; pada ketika negara sudah mula melalui detik getir akibat bergelut dengan ancaman pandemik COVID-19 pada ketika itu.\nMaka itu, bagi mengembalikan kepercayaan rakyat, Parlimen telah menggubal suatu mekanisme yang berbentuk undang-undang antilompat parti bagi memastikan peristiwa seumpamanya tidak berulang lagi. Namun begitu, persoalannya, sejauh manakah undang-undang yang digubal mampu menghentikan amalan lompat parti?\nSecara amnya, Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi raja berperlembagaan. Terma \u201cdemokrasi\u201d berasal daripada perkataan Yunani, iaitu demokratia yang terbentuk daripada dua suku kata berbeza, iaitu demos yang bermaksud rakyat, manakala kratos bermakna pemerintahan. Dalam konteks ini, kita boleh simpulkan bahawa demokrasi bermaksud \u201cpemerintahan rakyat\u201d. Sehubungan dengan itu, antara ciri utama demokrasi termasuklah satu konsep pemilihan pemimpin ataupun wakil rakyat oleh rakyatnya sendiri. Wakil yang dipilih oleh rakyat ini diberi mandat oleh rakyatnya untuk menggubal undang-undang, serta mentadbir negara untuk satu tempoh yang ditetapkan.\nDi Malaysia, proses pemilihan ini dilaksanakan melalui pilihan raya, dan sudah tentu acara pemilihan terbesar di dalam negara ialah PRU. Tujuan utama sebuah PRU diadakan adalah untuk memilih ahli Dewan Rakyat pada peringkat Persekutuan dan ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) pada peringkat negeri. Oleh sebab Malaysia mengamalkan sistem \u201cFirst-Past the Post\u201d bagi tujuan pilihan raya, maka parti atau gabungan parti yang memenangi kerusi terbanyak akan mempunyai mandat untuk membentuk kerajaan.\nProses pembentukan kerajaan ini dimulai dengan pelantikan seorang ketua kerajaan, iaitu Perdana Menteri pada peringkat Persekutuan, manakala Menteri Besar atau Ketua Menteri pada peringkat negeri. Menurut Perlembagaan Persekutuan, kelayakan utama untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, yakni mestilah seorang ahli Dewan Rakyat yang memimpin keyakinan majoriti di dewan tersebut. Perkara yang sama juga secara amnya terpakai untuk Menteri Besar atau Ketua Menteri di DUN tertakluk kepada Undang-Undang Tubuh Negeri. Pelantikan kedua-dua jawatan tersebut dilakukan oleh Yang Dipertuan Agong bagi Perdana Menteri, manakala Sultan ataupun Yang Di-Pertua Negeri bagi Menteri Besar ataupun Ketua Menteri. Melalui pelantikan tersebut, hal ini membuka ruang kepada ketua kerajaan untuk kemudiannya membentuk kerajaannya. Pada kebiasaannya, mandat sesebuah kerajaan untuk memerintah berlangsung selama lima tahun.\nBerdasarkan penerangan di atas, hal ini dapat disimpulkan bahawa pusat utama kuasa sesebuah kerajaan terletak atas mandat yang ada kepada seseorang ketua kerajaan tersebut. Sehubungan dengan itu, sekiranya seseorang ketua kerajaan memilih untuk meletak jawatan ataupun hilang keyakinan majoriti dalam Dewan Rakyat ataupun DUN, maka dengan sendirinya mandat kerajaan yang dibentuknya juga terbubar. Kehilangan keyakinan majoriti terhadap seseorang ketua kerajaan juga boleh dicetuskan oleh aktiviti lompat parti dalam kalangan ahli Dewan Rakyat atau DUN. Hal di luar kebiasaan ini sudah tentu dapat mencetus krisis perlembagaan serta mengundang ketidakstabilan politik yang sudah tentu boleh memudaratkan negara untuk jangka yang panjang. Oleh itu, suatu mekanisme khusus telah dibentuk bagi menjamin kelangsungan mandat yang diberikan rakyat menerusi pilihan raya.\nBagi menjamin kestabilan politik dan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem pemilihan pemimpin negara, Dewan Rakyat baru-baru ini telah meluluskan sebuah mekanisme bagi mengekang aktiviti lompat parti dalam kalangan ahli Dewan Rakyat dan DUN. Mekanisme pencegahan ini dikuatkuasakan menerusi sebuah Akta Parlimen yang dipanggil Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 atau dikenali sebagai Akta A1663 yang mula berkuat kuasa pada 5 Oktober 2022. Akta A1663 berperanan sebagai sebuah Akta pindaan terhadap beberapa Perkara dan Fasal dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan kebebasan berpersatuan dan juga keanggotaan Dewan Rakyat dan DUN.\nAntara ciri signifikan Akta A1663 adalah dengan tambahan peruntukan Perkara 49A dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh definisi dan pengecualian terhadap aktiviti lompat parti di Dewan Rakyat. Menurut Perkara 49A(1)(a), seseorang ahli Dewan Rakyat yang mewakili suatu parti politik boleh didefinisikan sebagai melompat parti sekiranya beliau melepaskan keanggotaan parti politiknya, ataupun tidak lagi menjadi ahli anggota parti politik tersebut. Perkara 49A(1)(b) pula turut mentakrifkan bahawa seorang ahli Dewan Rakyat yang memenangi pilihan raya atas tiket calon bebas, turut ditafsirkan sebagai melompat parti sekiranya beliau menyertai sesuatu parti politik sebagai anggota parti tersebut. Sekiranya senario tersebut berlaku, maka keahlian seseorang ahli Dewan Rakyat tersebut adalah terhenti dan kerusinya haruslah dikosongkan. Sekiranya berlaku, sudah tentu akan menuntut sebuah pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen berkaitan diadakan sepertimana yang dituntut di bawah Perkara 49(A)(4) Perlembagaan Persekutuan.\nNamun begitu, larangan terhadap lompat parti ini bukanlah mutlak dan tertakluk pada beberapa pengecualian. Hal ini dinyatakan dengan jelas menerusi Perkara 49A(2) Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan tiga perkara yang tidak menghentikan keahlian seseorang ahli Dewan Rakyat. Antaranya, termasuklah sekiranya parti yang diwakilinya dibubarkan atau pendaftaran parti politiknya dibatalkan. Keduanya, sekiranya ahli Dewan Rakyat tersebut mendapat pelepasan keanggotaan daripada parti politiknya apabila terpilih untuk dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Akhir sekali, sekiranya beliau dipecat daripada parti politik yang sedang dianggotainya.\nPada peringkat DUN pula, larangan dan pengecualian yang sama mengenai aktiviti lompat parti dinyatakan melalui pindaan terhadap Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan menerusi Akta yang sama. Namun begitu, bagi tujuan penguatkuasaan pada peringkat negeri, perkara ini perlulah mendapat persetujuan Sultan atau Yang di-Pertua Negeri di negeri yang berkenaan.\nWalaupun mekanisme antilompat parti yang diluluskan melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan ini boleh disifatkan sebagai satu daripada usaha yang sangat baik, namun penulis berpendapat bahawa masih terdapat beberapa kelemahan ataupun lacuna yang ketara yang masih boleh dimanipulasikan bagi tujuan melompat parti.\nPertamanya, berkemungkinan disebabkan oleh keahlian seseorang ahli Dewan Rakyat tidak boleh dilucutkan sekiranya beliau dipecat, maka terdapat kemungkinan bahawa ahli dewan tersebut dengan secara curangnya menimbulkan sesuatu kekacauan dalam partinya sendiri yang boleh membawa kepada pemecatan beliau. Melalui kaedah ini, maka ahli dewan tersebut dapat mengekalkan keahliannya di Dewan Rakyat sama ada sebagai calon bebas ataupun menjadi anggota parti yang lain, tanpa perlu mengosongkan kerusinya.\nKeduanya, Perkara 49A hanya menyentuh keanggotaan ahli Dewan Rakyat pada peringkat individu, dan bukanlah merangkumi penukaran pendirian parti secara kolektif. Oleh itu, seorang ahli Dewan Rakyat tidak akan dikira sebagai melompat parti, sekiranya sesebuah parti politik yang dianggotainya mengambil keputusan untuk menyokong atau menarik sokongan terhadap sesebuah gabungan politik. Pada pandangan penulis, kelompangan undang-undang terhadap perkara yang disebutkan adalah amat serius memandangkan sokongan atau penarikan sokongan terhadap sesebuah gabungan politik dapat meruntuhkan atau membentuk sesebuah kerajaan. Hal ini sekali gus memusnahkan matlamat asal pindaan perlembagaan tersebut dilakukan, yakni bertujuan untuk memberikan kestabilan kepada sistem politik sedia ada.\nMaka demikian, pada pandangan penulis, terdapat beberapa langkah mitigasi yang boleh diambil bagi mengurangkan risiko yang timbul daripada kelemahan yang dinyatakan. Hal ini termasuklah dengan memperketat dan menguatkuasakan undang-undang antirasuah dengan lebih holistik dan tegas. Pada masa yang sama, undang-undang yang mengawal selia dana politik juga harus diperkenalkan. Hal ini demikian kerana penulis berpendapat terdapat kemungkinan aktiviti lompat parti boleh didorong oleh politik wang dan apa-apa perbuatan pecah amanah yang berkaitan. Seterusnya, ruang bagi Public Interest Litigation, yakni rakyat kebanyakan diberi kuasa untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap seseorang individu atau pihak atas isu berkepentingan awam haruslah diperkenalkan. Menerusi kaedah ini, hal ini akan membuka ruang kepada pengundi untuk mengambil tindakan sivil terhadap individu yang melompat parti secara tidak bertanggungjawab, sekali gus berpotensi untuk menjadi langkah pencegahan yang ampuh terhadap aktiviti tersebut.\nDr. Hafidz Hakimi Haron, Pensyarah di Fakulti Undang-Undang, Universiti Multimedia, Kampus Melaka." "Melihat Pendidikan dalam Konteks Dunia \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPadang Besar \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada hari ini bertitah bahawa para pendidik baik di peringkat institut pengajian tinggi mahupun sekolah kini tiada pilihan selain terpaksa melihat pendidikan dalam konteks dunia yang sedang mengalami evolusi yang sangat agresif. Hal ini demikian kerana sekiranya kita lambat bertindak maka kita akan ketinggalan dalam dunia pendidikan. Tambah baginda:\n\u2018Cashless\u2019, \u2018Content Creator\u2019, \u2018Digital Nomads\u2019, \u2018Crypto Currency\u2019, \u2018Coding Language\u2019 dan \u2018Digital Learning\u2019 adalah antara fenomena dalam evolusi pendidikan terkini yang sedang kita tempuhi. Maka wajar proses \u2018learn\u2019, \u2018unlearn\u2019 dan \u2018relearn\u2019 dilaksanakan bagi memastikan sistem pendidikan kita tidak sekali-kali ketinggalan khususnya dalam sistem penyampaian \u2018content of knowledge\u2019 kepada para pelajar.\nBagi memastikan maklumat yang dipelajari sampai kepada para pelajar secara berkesan, baginda bertitah bahawa:\nPendekatan penyampaian yang lebih berorientasikan \u2018learners friendly\u2019 serta \u2018trendy\u2019 mengikut kesukaan para pelajar perlu difahami oleh para pendidik.\nTitah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail tersebut disampaikan selepas baginda berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21 000 kepada 30 orang asnaf terpilih yang diwakili oleh amil Masjid Al Huda, iaitu Azizan Arifin. Asnaf tersebut, iaitu dalam kalangan anak kariah Masjid Al Huda, Felda Mata Ayer, Padang Besar (Utara) Perlis masing-masing akan menerima RM700 setiap seorang yang akan diagihkan oleh Azizan Arifin.\nMengiringi baginda semasa penyerahan sumbangan tersebut ialah Mufti Perlis, Prof. Dato\u2019 Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.\nPada masa yang sama, Tuanku Raja Muda amat mengambil berat perihal pembangunan pendidikan di negeri Perlis dan bersyukur kerana Perlis mempunyai ruang sistem sokangan pendidikan melalui pelbagai platform yang tidak kurang hebatnya berbanding dengan tempat lain di Malaysia. Baginda juga berharap agar pembangunan pendidikan di Perlis dapat terus dipergiat dari semasa ke semasa demi memastikan anak bangsa pewaris negeri dan negara terpelihara." "Transformasi Pendidikan dari Prasekolah hingga Menengah Atas\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa memfokuskan pelbagai usaha untuk memastikan berlaku peningkatan terhadap akses pendidikan dalam setiap peringkat persekolahan. Di negara ini, hal itu dibuktikan menerusi keseriusan kerajaan menggariskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 \u2013 2025 yang memperincikan usaha kerajaan untuk menyediakan pelbagai akses pendidikan di segenap sekolah di negara ini. Hal ini diperkukuh lagi dengan pengumuman belanjawan pada setiap tahun yang menyaksikan kerajaan memperuntukkan belanjawan yang tertinggi kepada KPM yang tujuannya tidak lain tidak adalah untuk meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia. Pada pengumuman belanjawan 2023, KPM menerima peruntukan terbesar, iaitu\u00a0 sebanyak RM55.6 bilion. \nMenteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah itu menyaksikan peningkatan daripada peruntukan yang sedia ada dalam Belanjawan 2022, iaitu sebanyak RM52.6 bilion.\nMenurut beliau, menerusi belanjawan itu nilai Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang dinaikkan kepada RM150 adalah untuk meringankan beban ibu bapa berpendapatan RM3000 ke bawah untuk menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak pada Belanjawan 2022 yang akan diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapa mereka. Sebagai contoh, jika sebuah keluarga mempunyai tiga orang anak\u00a0 bersekolah, maka mereka layak menerima BAP sebanyak RM450. \nTengku Zafrul Tengku Abdul Aziz turut memaklumkan bahawa peruntukan disediakan untuk BAP adalah sebanyak RM825 juta, iaitu jauh melebihi peruntukan tahun ini, iaitu RM450 juta. Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga menambah baik Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dengan menyediakan bekalan susu pada setiap hari. Untuk itu, sejumlah RM777 juta disediakan, iaitu peningkatan signifikan berbanding dengan RM280 juta pada tahun 2020 atas peluasan penerima, kenaikan kadar dan penyediaan bekalan susu pada setiap hari. Dengan itu, katanya, lebih daripada 800 ribu orang\u00a0 pelajar serta 7300 orang pengusaha makanan dan pembekal susu tempatan akan menerima manfaat daripada penambahbaikan itu.\nDalam Laporan Tahunan 2021,\u00a0 PPPM 2013-2025, KPM memperincikan bahawa setiap kanak-kanak warganegara Malaysia, tanpa mengira taraf ekonomi, etnik atau latar belakang berhak mendapat akses yang sama kepada pendidikan berkualiti bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing. Hal ini membuktikan bahawa sistem pendidikan Malaysia berhasrat untuk memastikan penyertaan sejagat dan enrolmen penuh daripada peringkat prasekolah hingga peringkat menengah atas yang meliputi murid di semua sekolah kerajaan dan swasta, termasuk Kolej Vokasional. \nSejak pelaksanaan PPPM 2013-2025, sistem pendidikan telah berjaya meningkatkan tahap akses pada peringkat pendidikan prasekolah hingga menengah atas. Walau bagaimanapun, pandemik COVID-19 yang melanda sejak tahun 2020 hingga lewat tahun 2021, telah sedikit banyak memberikan kesan terhadap peratus enrolmen murid pada semua peringkat pendidikan.\nBab 3 laporan itu turut memperincikan fokus 2021 yang ditekankan oleh KPM merangkumi tiga fokus utama, iaitu Peningkatan Enrolmen Murid: Meningkatkan enrolmen murid prasekolah awam dan swasta; Meningkatkan enrolmen murid melalui Pemantapan Program Peningkatan Enrolmen Menengah Atas kepada pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta ziarah cakna ke kelompok sasar; dan Meningkatkan program jalinan kerjasama antara agensi melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). Fokus kedua pula meliputi Peningkatan Enrolmen dalam Bidang TVET: Kualiti graduan TVET; Penambahbaikan prasarana institusi TVET; dan Meningkatkan kerjasama dengan agensi-agensi luar dan pihak yang berkaitan dengan Pendidikan TVET. Sementara itu, Pengurangan Kadar Keciciran Murid pula menjadi fokus ketiga KPM. \nKeseriusan KPM dalam peningkatan enrolumen murid dapat dilihat menerusi pencapaian tahun 2021, iaitu pencapaian enrolmen prasekolah bagi tahun 2021 telah menunjukkan penurunan kadar enrolmen bagi kedua-dua kohort umur 5+, iaitu sebanyak 6.53 peratus kepada 83.65 peratus dan bagi kohort umur 4+ peratus enrolmen telah berkurang sebanyak 8.1 peratus kepada 68.45 peratus. \nPenurunan ketara terhadap kadar penyertaan kanak-kanak yang mengikuti pendidikan prasekolah pada tahun 2021 yang jelas disebabkan oleh kesan daripada pandemik COVID-19 yang juga telah mengakibatkan pengurangan prasekolahj sebanyak 1342 kepada 51 565 kelas. Dalam usaha menambah bilangan kelas prasekolah, KPM telah membuka sebanyak 118 kelas pada tahun 2021. Namun begitu, kesan pandemik yang hebat telah menyebabkan penutupan kelas tadika agensi lain yang merangkumi sebanyak 65 kelas Tadika Kemas, satu kelas Tadika Perpaduan dan yang paling terkesan, iaitu tadika swasta di mana sebanyak 1394 tadika terpaksa ditutup. Oleh itu, bagi meneruskan komitmen untuk memberikan akses terhadap pendidikan prasekolah, KPM telah meneruskan bantuan yuran prasekolah swasta terutama kepada golongan B40 untuk mereka meneruskan pendidikan di tadika swasta. Pada tahun 2021, bantuan ini telah disalurkan kepada 1811 murid yang layak daripada 803 buah tadika swasta melibatkan peruntukan sebanyak RM1.25 juta.\n\u00a0\nPada peringkat menengah atas pula, peratus enrolmen bagi tahun 2021 menunjukkan peningkatan sebanyak 1.11 peratus. Peningkatan ini didorong oleh usaha pihak KPM yang berterusan serta kerjasama yang diberikan oleh pihak komuniti, agensi-agensi lain, pihak swasta, NGO serta lain-lain pihak yang sedia membantu KPM demi menyokong pembelajaran murid menengah atas yang bakal menduduki peperiksaan SPM demi menjamin masa depan generasi ini. \nPencapaian tahun 2021 juga menyaksikan berlakunya peningkatan enrolmen dalam bidang TVET, iaitu kepada 6.30 peratus (23,539). Enrolmen tersebut merangkumi sebanyak 70.39 peratus (16,570) pelajar mengikuti program TVET di Kolej Vokasional (KV); sebanyak 453 Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV); sebanyak 4448 pelajar Program Vokasional Menengah Atas (PVMA); dan sebanyak 155 pelajar program Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA). Pelibatan seramai 304 pelajar lepasan Tingkatan 3 dalam program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Kolej Vokasional dengan McDonalds\u2019 Malaysia merupakan alternatif ke arah peluasan TVET KPM melalui kerjasama awam-swasta. Enrolmen tahun semasa turut merangkumi enrolmen kumulatif daripada agensi luar KPM seperti GIATMARA dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dengan pelibatan sebanyak 3.78 peratus enrolmen pelajar TVET KPM. \nPenularan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada tahun 2021 telah menyaksikan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menggunakan pelbagai kaedah alternatif bagi memastikan kanak-kanak cicir didekati terutamanya dengan kerjasama komuniti setempat. Sebagai contoh, JPN Pulau Pinang telah mengedarkan poster ke seluruh pelosok negeri bagi membantu pemakluman dan informasi berkaitan dengan program outreach murid cicir dan tatacara pendaftaran semula murid ke sekolah.\nJPN Terengganu pula telah menjalankan Program Turun Padang bersama-sama Jabatan Pendaftaran Negara Cawangan Terengganu bagi menguruskan isu murid tiada dokumen, disamping menjalankan program ziarah ke rumah murid cicir bagi membantu mereka kembali semula ke sekolah.\nSementara itu, JPN Sabah telah menjalankan Operasi Sifar Cicir Sabah (OPSCIS) di Pulau Banggi, Kudat, pada 9 November hingga 11 November 2021 dengan memberikan kelulusan permohonan dan pendaftaran murid dengan segera di kawasan tersebut. Program ini berjaya mengembalikan sebanyak 53 orang murid cicir ke sekolah serta menjimatkan kos kewangan ibubapa dalam kalangan B40 kerana tidak perlu ke JPN permohonan belajar. \nJPN Pahang turut menjalankan bantuan murid cicir dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) negeri Pahang semasa menjalankan program vaksinasi di Sekolah Kebangsaan Titom dan Sekolah Kebangsaan Lejang Lipis. Program ini telah berjaya mengembalikan seramai 23 orang murid orang asli kembali ke sekolah.\nSetelah pergerakan merentas daerah dibenarkan, beberapa JPN lain juga telah menjalankan program bantuan murid cicir bagi membantu mereka kembali ke sekolah. Dengan pelbagai aktiviti yang telah dijalankan daripada peringkat JPN hingga ke sekolah, kadar keciciran menunjukkan penurunan daripada 1.13 peratus pada tahun 2020 kepada 1.11 peratus pada tahun 2021.\nDapatan daripada program bantuan yang telah dijalankan menunjukkan isu keciciran yang berlaku sepanjang tempoh pandemik COVID-19 melibatkan murid sekolah peringkat rendah dan peringkat menengah di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan KPM akibat daripada pelbagai faktor keluarga dan murid. Walau bagaimanapun, program yang dijalankan mampu membantu murid cicir kembali ke sekolah. Bantuan murid cicir ini akan diperkukuh di semua PPD pada tahun 2022 bagi membendung isu keciciran murid pada peringkat rendah dan menengah. Program bantuan ini juga perlu disusuli dengan intervensi berfokus dan kerjasama padu daripada pelbagai agensi, kementerian dan komuniti setempat agar apa-apa yang digariskan berjaya seperti yang telah dijalankan oleh beberapa JPN. Selain itu, murid yang terkesan akibat COVID-19 perlu dikenal pasti secara individu agar mereka dapat diberi intervensi yang sesuai bagi memastikan mereka kekal dalam enrolmen pada peringkat rendah dan menengah serta dapat menamatkan pendidikan hingga tamat tingkatan lima. \nTernyata KPM sentiasa melangkah ke hadapan dalam memperbaik enrolmen murid. Maka itu, setiap program yang telah dijalankan pada tahun 2021 telah dianalisa keberkesanannya bagi memastikan perancangan bagi tahun seterusnya akan dapat memperbaik enrolmen murid di sekolah bagi setiap peringkat. Impak program yang dijalankan telah menunjukkan bahawa kerjasama yang dijalin dengan pelbagai pihak bagi mengesan dan mengenal pasti murid-murid yang terkesan dengan pandemik COVID-19 berjaya menarik semula serta mengekalkan murid-murid ini di sekolah. Oleh itu, bagi tahun 2022, KPM komited dalam meningkatkan kerjasama dengan komuniti setempat bagi meningkatkan enrolmen murid pada semua peringkat pendidikan. Hal ini termasuklah aktiviti seperti yang berikut:\n1. Peluasan prasekolah KPM sebanyak 90 buah kelas di seluruh negara bagi memberikan peluang dan lebih ramai kanak-kanak mendapat pendidikan awal dan bersedia ke pendidikan formal.\n2. Peningkatan enrolmen prasekolah swasta melalui pelaksanaan verifikasi data di tadika swasta, mengadakan beberapa siri sesi townhall bagi memberikan pendedahan kepada pengusaha tadika swasta mengenai kelebihan berdaftar dengan KPM.\n3. Pelaksanaan bantuan yuran murid di tadika swasta bagi kumpulan murid daripada keluarga berpendapatan rendah.\n4. Pengukuhan jalinan kerjasama dengan pelbagai agensi bagi meningkatkan enrolmen pada peringkat menengah atas.\n5. Pencapaian TVET tidak hanya diukur menerusi kuantiti kemasukan murid tetapi perlu lebih berfokus kepada kualiti graduan TVET. Penambahbaikan prasarana di sesebuah institusi TVET hendaklah sentiasa dinaik taraf bagi memastikan pendidikan teknikal dan vokasional berkualiti diterima oleh pelajar KV. Pelaksanaan TVET KPM yang mampan tidak akan terlaksana dengan jayanya tanpa kerjasama semua pihak yang bertanggungjawab dalam merealisasikan agenda negara. Hal ini bermaksud, TVET KPM perlu terus diperkasa ke arah mengarusperdanakan pendidikan teknikal dan vokasional.\n6. Perluasan cakupan pencarian murid cicir dan juga kanak-kanak yang tidak pernah mendapat pendidikan di mana-mana institusi pendidikan. Intervensi berfokus akan dirancang agar mereka kekal bersekolah hingga tamat menduduki peperiksaan SPM." "PRU-15: Tempoh Berkempen Tamat, Rakyat Malaysia Mengundi Esok\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\n\nDari pentas bersaiz mega, khemah di tepi jalan, lori bergerak, serta lawatan dari pintu ke pintu rumah hingga ke gerai makan dan pasar malam, perang kempen secara bersemuka dan menerusi media sosial oleh 945 calon yang disahkan layak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akhirnya sampai ke garisan penamat. Tepat pukul 12.00 tengah malam ini, berakhirlah tempoh 14 hari berkempen yang diperuntukkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada semua calon dan parti yang bertanding.\nJanji sudah dilaungkan. Manifesto sudah diperincikan. Esok, bermula pukul 7.30 pagi hingga 5.30 petang (di Sabah dan Sarawak) dan 8.00 pagi hingga 6.00 petang (di Semenanjung), sebanyak 20 905 366 20 orang pengundi akan menentukan siapakah yang layak merebut 221 kerusi Parlimen (satu kerusi, iaitu Parlimen Padang Serai ditunda ke tarikh pengundian baharu, iaitu pada 7 Disember 2022) seterusnya membentuk kerajaan.\nSebanyak 441 calon akan bersaing untuk merebut 117 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, Pahang, Perlis dan kerusi N66 Bugaya, Sabah. Bagi kerusi Parlimen, Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan calon paling ramai, iaitu 206 orang, diikuti Barisan Nasional (BN) (178), Perikatan Nasional (PN) (149) dan Pejuang (116). Parti Warisan Sabah (Warisan) meletakkan 52 calon, Gabungan Parti Sarawak (31), PAS (22), Parti Rakyat Malaysia (16), Gabungan Rakyat Sabah (13), Parti Sarawak Bersatu (10), Putra (9), DAP (8), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (7), Muda (6), Parti Bangsa Malaysia (5) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (3).\nSelain itu, Parti Bersatu Rakyat Sabah, Parti Sedar Rakyat Sarawak, Parti Sosialis Malaysia, Parti Perpaduan Rakyat Sabah, Parti Bumi Kenyalang dan Parti Utama Rakyat pula masing-masing mempunyai seorang calon kerusi Parlimen.\u00a0Jumlah calon Bebas yang bertanding adalah sebanyak 108 orang. Jumlah ini merupakan yang tertinggi dalam sejarah PRU negara. \nNegeri Selangor yang mempunyai 22 kawasan Parlimen merekodkan jumlah calon Parlimen paling banyak, iaitu 124 orang, diikuti dengan Sabah (119), Perak (100), Johor (96),\u00a0Sarawak (92), Kedah (68), Kelantan (63), Pulau Pinang (58), Pahang (55), Kuala Lumpur (52), Negeri Sembilan (35), Terengganu (33), Melaka (25) dan Perlis (13), manakala Putrajaya dan Labuan masing-masing mempunyai enam calon.\nBagi kerusi DUN, Perak mendahului senarai calon tertinggi dengan 220 orang diikuti Pahang (150), Perlis (64) dan tujuh calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah. BN mempertandingkan sebanyak 117 calon bagi kerusi DUN; PN\u00a0dan PH\u00a0masing-masing mempertandingkan 116 calon; Pejuang (45); Warisan (18); dan Bebas (24).\n\nSPR menetapkan hari pengundian PRU-15, pada esok, 19 November 2022 dan pengundian awal pada 15 November lalu. Menurut Daftar Pemilih yang dikemas kini SPR hingga 9 Oktober 2022, sebanyak 21 173 638 orang pemilih yang layak mengundi pada PRU-15. Mereka terdiri daripada 20 905 366 pengundi biasa; 146 737 anggota tentera serta pasangan; 118 794 anggota polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara." "Amanat Calon Perdana Menteri buat Pengundi Esok\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPagoh \u2013\u00a0Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyifatkan sambutan serta sokongan orang ramai terhadap kempen gabungan parti itu di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), sebagai luar biasa.\nBeliau menyifatkan hal tersebut juga seolah-olah membayangkan ada gelombang besar daripada rakyat yang mahu memberikan mandat kepada Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan pada pilihan raya kali ini.\n\u201cSetiap kawasan yang saya lawati serta tinjau secara dekat, saya mendapati sokongan pengundi di hampir semua negeri yang saya lawati adalah luar biasa dan ini adalah satu petanda bahawa PN akan menang pada PRU-15,\u201d ujar beliau dalam sebuah ceramah di sini.\nTinjauan wartawan kami pada malam ini mendapati tawaran Perikatan Nasional (PN) untuk PRU-15 berteraskan Prihatin, Bersih dan Stabil yang akan menjadi wadah dalam membawa harapan rakyat dan negara ke arah Malaysia yang lebih gemilang.\nTawaran PN ini disifatkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai amat realistik kerana disifatkan tidak sekadar janji-janji pilihan raya, tetapi mampu dilaksanakan oleh Perikatan Nasional sekiranya diberi mandat untuk membentuk kerajaan pada 19 November (esok).\nMenurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, mesej teras 234 tawaran PN di bawah 12 tunjang dan 30 pendekatan PN adalah jelas, iaitu untuk mempertahankan keluhuran Perlembagaan, menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan dan melindungi hak semua kaum, demi manfaat rakyat dan negara keseluruhannya. Antara tawaran utama adalah menyediakan Tabung Khas Galakan Pelaburan RM5 bilion ke arah menjadikan Malaysia paksi industri di Asia Tenggara, Dana Khas Pelancongan RM1 bilion dan sejuta pekerjaan berpendapatan tinggi untuk merancakkan ekonomi.\n\u201cPerikatan Nasional akan berpegang teguh pada amanah untuk mengotakan setiap tawaran yang dikemukakan kerana kita cukup sedar bahawa tawaran kita adalah manifestasi kehendak dan impian rakyat, ujar beliau lagi.\nPada masa yang sama, tinjauan wartawan kami di Bera pula mendapati Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob menyenaraikan empat iltizam beliau untuk Malaysia sekiranya diberikan peluang untuk meneruskan pentadbirannya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).\nBeliau berkata, iltizam pertama adalah untuk menyatupadukan rakyat demi kesejahteraan dan kebajikan Keluarga Malaysia, manakala kedua, menyuburkan kemakmuran ekonomi serta pembangunan negara. Yang ketiga, menurut beliau adalah untuk memelihara kesucian agama Islam tanpa meminggirkan agama lain selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta keempat, memperkasakan integriti tadbir urus negara.\n\u201cInilah iltizam saya untuk Malaysia, demi kestabilan dan kemakmuran masa depan tanah air kita. Saya, Ismail Sabri Yaakob dengan rendah diri, memohon kepada semua pengundi untuk memberikan kepercayaan kepada saya dan Barisan Nasional (BN) untuk menerajui negara bagi penggal akan datang, jelas beliau pada hari terakhir kempen. \u201cSemoga Allah SWT terus merahmati serta memelihara negara dan Keluarga Malaysia. Undilah Barisan Nasional. Terima kasih Keluarga Malaysia!\u201c akhiri beliau dalam kenyataan Amanat PRU-15 pada hari ini.\nSementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berpindah kerusi Parlimen dari Port Dickson ke Tambun pada PRU-15 kali ini terus memfokuskan usaha beliau terhadap pelibatan golongan muda dalam memilih kerajaan. \u201cAnak muda tidak alpa akan tanggungjawab mereka kerana kita faham sikap elit politik sejak beberapa tahun kebelakangan ini mengecewakan mereka tatkala jawatan diagih tetapi kepentingan rakyat diketepikan. Saya yakin anak muda pada hari ini jauh lebih matang dan berfikiran kritis untuk menilai sikap kepimpinan setiap parti politik dan Insya-Allah mereka pastinya akan memilih Harapan. Ayuh anak muda bangkit bersama Harapan!\u201c jelas beliau dalam sebuah ceramah mega pada malam terakhir kempen. Beliau berharap agar kawasan Tambun dapat dikenali di mata dunia sekali gus dapat memasuki peta dunia. Dalam amanat beliau pada malam terakhir kempen, Pengerusi Pakatan Harapan itu turut menyentuh soal tadbir urus negara yang baik dan berkesan demi mengelakkan ketirisan.\nSiapa yang bakal mendapat mandat daripada rakyat, sekali gus membentuk kerajaan baharu, segala-galanya akan terjawab esok." "SPR: Sebanyak 31 Peratus Pengundi Keluar Mengundi Setakat Pukul 11.00 Pagi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nHari mengundi bersempena dengan Pilihan Raya Umum ke-15 yang ditetapkan pada hari ini, 19 November 2022 menyaksikan 31 peratus pengundi telah keluar mengundi sehingga pukul 11.00 pagi ini. Peratusan tersebut dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui laman web rasminya.\nMenurut Daftar Pemilih yang dikemas kini SPR hingga 9 Oktober 2022, sebanyak 21 173 638 orang pemilih yang layak mengundi pada PRU-15. Mereka terdiri daripada 20 905 366 pengundi biasa, 146 737 anggota tentera serta pasangan, 118 794 anggota polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA), dan 2741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara." "Pengundian di Kawasan Parlimen Batu Berjalan dengan Lancar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-15 di Kawasan Parlimen Batu (P.115 Batu) pada pagi ini berjalan dengan lancar. Berdasarkan tinjauan yang dibuat di beberapa lokasi di Parlimen Batu, pengundi di kawasan ini beratur untuk mengundi pada awal pagi bagi memastikan proses pengundian dapat diselesaikan dengan segera dan mengelakkan pengundian dibuat pada saat-saat akhir.\nParlimen Batu merupakan antara parlimen yang mempertaruhkan calon yang paling banyak, iaitu sebanyak 10 orang dengan calon dan kerusi masing-masing seperti yang berikut:\n\nBiarpun kawasan Parlimen Batu mempertaruhkan banyak calon, proses pengundian di kawasan ini berjalan dengan aman dan lancar. Pengundi yang ingin dikenali sebagai Habsah, 65 tahun menyatakan bahawa beliau antara pengundi yang terawal hadir ke pusat mengundi dengan ditemani oleh suami daripada golongan orang kurang upaya yang turut sama mengundi. Menurut beliau, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia dan petugas yang bertugas seperti Polis Diraja Malaysia memberikan khidmat terbaik mereka bagi memastikan proses pengundian dapat dijalankan dalam suasana teratur dan terkawal.\nBerdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, pemilih yang berdaftar yang mengambil bahagian dalam PRU P.115 pada kali ini adalah sebanyak 113 863 orang.\n\nPengundi muda antara pengundi yang hadir dan menunjukkan semangat mereka untuk mengundi. Menurut pengundi yang ingin dikenali sebagai Ahmad, 19 tahun yang mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Perak Sentul, beliau berasa teruja kerana golongan belia antara individu yang diberikan peluang mengundi pada kali ini kerana pada pandangan beliau melalui proses pengundian, golongan muda juga diberikan hak memilih dan mengutarakan pandangan mereka dalam konteks pemilihan calon yang akan menjadi pemimpin negara.\nMengulas tentang latar belakang calon yang akan dipilih, pengundi muda yang ingin dikenali sebagai Nur, 23 tahun menyatakan:\nSaya mencari latar belakang calon kerana saya baru terlibat dalam hal politik. Saya juga mengambil tahu setiap parti dan calon serta membuat kajian tentangnya bagi memastikan saya tidak silap memilih calon dan membuat undian yang betul.\nMenurut seorang lagi pengundi yang juga ingin dikenali sebagai Nur, 25 tahun, inisiatif kerajaan yang menetapkan umur 18 tahun layak mengundi merupakan inisiatif dan idea yang bagus kerana generasi pada masa ini sudah terdedah dengan politik sejak dari kecil melalui pembelajaran dan pelbagai medium yang ada." "SPR: Sebanyak 42 Peratus Pengundi Keluar Mengundi Setakat Pukul 12.00 Tengah Hari\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nHari mengundi bersempena dengan Pilihan Raya Umum ke-15 yang ditetapkan pada hari ini, 19 November 2022 menyaksikan 42 peratus pengundi telah keluar mengundi sehingga pukul 12.00 tengah hari ini. Peratusan tersebut dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui laman web rasminya.\nMenurut Daftar Pemilih yang dikemas kini SPR hingga 9 Oktober 2022, sebanyak 21 173 638 orang pemilih yang layak mengundi pada PRU-15. Mereka terdiri daripada 20 905 366 pengundi biasa, 146 737 anggota tentera serta pasangan, 118 794 anggota polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA), dan 2741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara." "SPR: Hampir 50 Peratus Pengundi Keluar Mengundi Setakat Pukul 1.00 Tengah Hari\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nHari mengundi bersempena dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 yang ditetapkan pada hari ini, 19 November 2022 menyaksikan 50 peratus pengundi telah keluar mengundi sehingga pukul 1.00 tengah hari ini. Peratusan tersebut dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui laman webnya.\nMenurut Daftar Pemilih yang dikemas kini SPR hingga 9 Oktober 2022, sebanyak 21 173 638 orang pemilih yang layak mengundi pada PRU-15. Mereka terdiri daripada 20 905 366 pengundi biasa, 146 737 anggota tentera serta pasangan, 118 794 anggota polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA), dan 2741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara." "Pembentukan Kerajaan Tunggal Jika Peratusan Mengundi Melebihi 80 Peratus\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPagoh \u2013 Gabungan politik tunggal dijangka akan membentuk kerajaan bersendirian jika jumlah peratusan keluar mengundi terus meningkat antara tujuh hingga 10 peratus pada setiap jam secara konsisten.\nKumpulan Ahli Akademik dan Penyelidik Sains Politik, Pertubuhan Naratif Malaysia (NARATIF) membuat jangkaan itu jika jumlah peratusan mengundi terus meningkat secara konsisten sehingga tamat tempoh pengundian pada pukul 6.00 petang ini.\nPengerusi NARATIF, Dr. Muhamad Azwan Abd Rahman, berkata bahawa peratusan keluar mengundi secara konsisten itu turut melibatkan kalangan pengundi baharu dan pengundi muda.\n\u201cSenario gabungan parti tunggal yang boleh membentuk kerajaan itu akan berlaku jika peratusan mengundi mencecah 83 hingga 86 peratus ketika tamat pengundian,\u201c jelas beliau.\nTinjauan wartawan Dewan Masyarakat yang menemu bual pengundi kawasan Parlimen Pagoh rata-ratanya menjangkakan bahawa peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang berlangsung pada hari ini dijangka melebihi 80 peratus.\nJangkaan itu berdasarkan lebih 21 juta pengundi berdaftar termasuklah pengundi yang berumur 18 tahun yang dipercayai menunaikan tanggungjawab mengundi pada hari ini berdasarkan rekod Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikemas kini sehingga 9 Oktober 2022.\nSelain itu, ramalan ini juga melibatkan kesedaran pengundi yang pulang ke tempat mengundi masing-masing selepas kerajaan sementara mengisytiharkan 18 November 2022 (semalam) dan hari ini (19 November) sebagai hari kelepasan am.\nMalah, keadaan trafik yang sesak sejak semalam, selain jumlah tiket bas dan kereta api yang dilaporkan telah mencapai hampir 100 peratus daripada kuota disediakan menguatkan lagi ramalan bahawa peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi pada PRU-15 ini.\nDewan Masyarakat turut mendapatkan pandangan Ketua Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkaitan dengan ramalan pembentukan kerajaan tunggal ini jika peratusan pengundian melebihi 80 peratus. Dalam hal ini, beliau berpandangan bahawa perkara ini mungkin disebabkan keinginan pengundi yang mahu akan sebuah kerajaan yang stabil berikutan berlakunya pelbagai peristiwa politik\u00a0 sebelum ini.\n\u201cSaya fikir untuk membentuk kerajaan tunggal agak sukar diramalkan kerana untuk mendirikan sebuah kerajaan bersifat tunggal, parti politik yang berkenaan perlu mendapatkan sokongan rakyat secara menyeluruh termasuklah di Sabah, Sarawak dan Pantai Timur. Jika tidak, agak sukar untuk kita meramalkan situasi tersebut dalam tempoh sehari,\u201d jelas beliau kepada Dewan Masyarakat ketika dihubungi sebentar tadi.\nProfesor Pengajian Tadbir Urus, Pusat Pembangunan Lestari Jeffrey Sachs (JSC), Sunway University, Profesor Dr. Wong Chin Huat tidak menafikan semangat pengundi yang berkobar-kobar akan memangkah calon pilihan masing-masing pada kertas undi. Walau bagaimanapun, beliau menjangka peratusan undi hanya mencecah antara 60 sehingga 65 peratus disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu di beberapa buah kawasan di seluruh negara.\n\u201cKita lihat semangat pengundi berkobar-kobar untuk keluar mengundi sama ada di dalam atau di luar negara, malah melibatkan puluhan syarikat perniagaan yang memberikan diskaun atau barangan percuma kepada pengundi yang menunjukkan jari berdakwat selepas mengundi. Namun begitu, saya menjangkakan bahawa kadar mengundi tidak akan mencapai 80 peratus kerana cuaca yang buruk,\u201d jelas beliau.\nUntuk rekod, PRU-14 menyaksikan 82.32 peratus pemilih keluar mengundi atau sebanyak 12 229 514 daripada 14 940 624 pengundi berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). DPPR bagi PRU-15 pula mencatat 21 173 638 pemilih yang terdiri daripada 20 905 366 pengundi biasa, 146 737 tentera serta pasangan, 118 794 polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2741 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.\nMenurut SPR, seluruh pusat pembuangan undi dijangka akan ditutup sepenuhnya pada pukul 6.00 petang ini." "UMT Meneruskan Legasi Pemerkasaan Bahasa Melayu di Hankuk University of Foreign Studies, Korea Selatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTerengganu \u2013Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Jabatan Bahasa dan Komunikasi, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL) mengambil inisiatif untuk sama-sama terlibat dalam usaha pemerkasaan bahasa Melayu di luar negara dengan menempatkan pensyarah Bahasa Melayu di Hankuk University of Foreign Studies (HUFS) bermula pada bulan September 2022.\nHUFS merupakan sebuah universiti yang telah diiktiraf sebagai institusi terbaik untuk pendidikan bahasa asing di Korea dari tahun 2018 hingga kini\u00a0dan berada di kedudukan universiti ketiga terbaik di dunia dalam pendidikan bahasa. HUFS menawarkan program Pengajian Penterjemahan dan Interpretasi Bahasa Melayu\u2013Bahasa Indonesia selama empat tahun dengan beberapa kursus wajib bahasa Melayu\u2013bahasa Indonesia.\nPenulis bersama-sama YBhg. Prof. Dr. Kim Jang Gyem, iaitu Ketua Jabatan Penterjemahan dan Interpretasi Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia ketika mengadakan perbincangan.\nUsaha murni UMT ini juga selari dengan satu daripada bidang keutamaan Kerangka Dasar Luar Malaysia yang telah dilancarkan oleh kerajaan pada 7 Disember 2021, iaitu Diplomasi Kebudayaan yang turut merangkumi elemen mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia. Kerjasama ini dilihat dapat memperluas kursus bahasa, budaya dan warisan negara di luar negara. Oleh itu, UMT amat berbesar hati untuk menyokong usaha-usaha murni kerajaan dalam merancakkan lagi perkembangan bahasa Melayu di luar negara dengan menghantar para pensyarah yang berperanan sebagai duta kecil Malaysia di luar negara.\nUMT turut\u00a0menggalakkan para pensyarahnya\u00a0untuk sama-sama merealisasikan dasar Kementerian Luar Negara (KLN) yang menetapkan peranan Atase Pendidikan dan Kebudayaan di kedutaan sebagai agen promosi pendidikan dan kebudayaan Malaysia di luar negara melalui program peminjaman staf ke agensi luar.\nSelain itu, UMT juga mendukung hasrat murni Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu di universiti awam dalam dan luar negara. Antara objektif pelan ini adalah untuk meningkatkan pengantarabangsaan bahasa Melayu dengan mengantarabangsakan Malaysia sebagai pusat rujukan tentang ilmu alam Melayu." "Sasaran 85 Peratus Keluar Mengundi Sukar Dicapai \u2013 Penganalisis Politik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nPagoh \u2013 Meskipun banyak pihak yang menjangkakan peratusan keluar mengundi di seluruh negara pada Pilihan Raya Utama Ke-15\u00a0 (PRU-15) mampu mencecah 85 peratus, namun melihat data yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), setakat pukul 2.00 petang ini, jumlah peratusan keseluruhan pengundi yang telah menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi hanya berjumlah 58 peratus. Perkara ini memberikan petanda bahawa sasaran 85 peratus berkemungkinan besar tidak mampu dicapai. \nDi seluruh negeri Johor, hingga pukul 3.00 petang ini, jumlah peratusan pengundi yang keluar mengundi adalah sebanyak 57.58 peratus.\nMenurut penganalisis politik, Profesor Dr. Kassim Thukiman, jumlah 85 peratus pengundi yang keluar mengundi pada PRU-15 sukar untuk dicapai disebabkan banyak faktor yang perlu diambil kira. Antaranya termasuklah faktor cuaca di beberapa buah negeri yang dilanda hujan pada petang ini. Malah menurutnya lagi, hingga pukul 3.00 petang, kebanyakan pusat mengundi di Johor mula lengang. Daripada tinjauan Dewan Masyarakat yang turut berada di negeri Johor untuk membuat liputan, sememangnya kebanyakan pusat mengundi yang pada awal pagi tadi dibanjiri pengundi, kini keadaan mula beransur-ansur lengang. Sebagai contoh, di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Muar, yang menjadi lokasi pengundian Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak lagi sibuk seperti ketika pusat pengundian itu mula dibuka seawal pukul 8.00 pagi tadi.\n\u201cFaktor segelintir rakyat yang masih menganggap tanggungjawab sebagai pengundi tidak penting masih wujud. Faktor pengundi muda yang tidak keluar mengundi juga mungkin menjadi punca peratusan yang rendah. Hal ini dikatakan demikian kerana ada dalam kalangan pengundi yang beranggapan bahawa undi mereka tidak memberikan banyak makna dan kesan kepada pembentukan kerajaan. Apa-apa pun hal itu akan diperincikan oleh SPR nanti,\u201d ujar Profesor Dr. Kasim ketika diwawancara oleh penulis. \nSementara itu, menurut penganalisis politik, Profesor Dr. Sivamurugan Pandian, jumlah sasaran 85 peratus mungkin tidak dapat dicapai. Walau bagaimanapun, jumlah pengundi yang keluar mengundi tetap meningkat memandangkan jumlah keseluruhan pengundi pada PRU-15 adalah berjumlah 21 173 638 orang, iaitu jauh lebih tinggi berbanding dengan jumlah pengundi pada PRU-14. Untuk rekod, peratusan pengundi yang keluar mengundi pada PRU-14 adalah berjumlah 82.32 peratus.\n\u201cSasaran itu, mungkin tidak dicapai, tetapi memandangkan berlaku peningkatan jumlah keseluruhan pengundi yang layak mengundi, maka jumlah yang keluar mengundi pastinya lebih tinggi berbanding dengan PRU sebelumnya,\u201d ujar Profesor Sivamurugan, ketika menjawab soalan Dewan Masyarakat. \nMenurut Daftar Pemilih yang dikemas kini oleh SPR, hingga 9 Oktober 2022, sebanyak 21 173 638 orang pemilih yang layak mengundi pada PRU-15. Mereka terdiri daripada 20 905 366 pengundi biasa; 146 737 anggota tentera serta pasangan; 118 794 anggota polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. \nPRU-15 mencatatkan sejarah sebagai PRU pertama negara yang mengiktiraf pengundi muda berusia 18 tahun untuk turut mengundi. Daripada data yang dikeluarkan oleh SPR, jumlah pengundi muda yang layak menggundi di seluruh negara adalah sebanyak 1 393 549 juta, iaitu pengundi berusia antara 18 tahun hingga 20 tahun." "Pengundian di 11 Pusat Mengundi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.220 Baram Digantung\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memutuskan untuk menggantung pengundian di 11 pusat mengundi di Bahagian Pilihan Raya P.220 Baram.\nMenurut Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, keputusan tersebut diambil berikutan keadaan cuaca yang tidak baik serta menyebabkan petugas tidak dapat sampai ke tempat bertugas sama ada melalui jalan udara, darat mahupun air.\n\u201cTarikh baharu pengundian bagi pusat mengundi dan tempat mengundi (saluran) akan dimaklumkan kelak setelah keadaan selamat untuk petugas dan pengundi sampai ke pusat mengundi bagi menjalankan pengundian,\u201c jelas Tan Sri Abdul Ghani.\nYang berikut merupakan senarai pusat mengundi dan tempat mengundi (saluran) yang terlibat.\n(SALURAN)" "Parlimen Titiwangsa dan Parlimen Gombak: Rakyat Terus Bersemangat Mengundi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sehingga 3.30 petang, beberapa kawasan di Parlimen Titiwangsa (P.119) kelihatan sesak kerana dibanjiri oleh pengundi yang sabar beratur untuk melaksanakan tanggungjawab mereka. Sekitar tinjauan wartawan di Sekolah Kebangsaan Datok Keramat 1 & 2, warga muda, golongan dewasa dan golongan belia terus memberikan komitmen bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.\n\nDi lokasi yang berhampiran, iaitu di Sekolah Integrasi Rendah Agama Jawi (Siraj) Al-Alusi, Datok Keramat, masyarakat juga kelihatan beratur panjang bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi. Walaupun demikian, rata-rata pengundi kelihatan bersemangat untuk mengundi kerana saat tersebut bagi mereka bukan selalu ada dan detik berkenaan tidak harus dilepaskan apatah lagi pada saat untuk memilih pemimpin yang akan membawa hala tuju pembangunan negara. Keadaan di situ juga kelihatan terkawal dengan bantuan Polis Diraja Malaysia dan masyarakat yang turut mengikut arahan dan garis panduan yang ditetapkan.\nKawasan Parlimen Titiwangsa membariskan empat orang calon pada Pilihanraya Umum Ke-15 untuk merebut kerusi undi, iaitu Datuk Seri Johari Ghani, calon Barisan Nasional; Dato\u2019 Sri Khairuddin Abu Hassan, calon Parti Pejuang Tanahair; Dr. Rosni Adam, calon Perikatan Nasional; dan Khalid Abd Samad, calon Pakatan Harapan. Menurut Suruhanjaya Pilihanraya, pemilih yang berdaftar untuk pilihan raya tersebut berjumlah 80 747 orang.\nDi beberapa kawasan lain, iaitu di Parlimen Gombak, keadaan di kawasan pengundian kelihatan tenang sekitar 4.30 petang tadi. Misalnya, di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang, keadaan kelihatan tenang dan reda daripada kehadiran pengundi. \u00a0Hal ini demikian kerana menurut seorang peniaga minuman yang mengambil kesempatan berniaga di kawasan sekolah itu, masyarakat di situ hadir awal ke tempat pengundian bagi mengelakkan kesesakan jalan raya pada sebelah petang.\nDalam Piliharaya Umum Ke-15 pada kali ini, lima calon bagi Parlimen Gombak mempertaruhkan Datuk Seri Mohamed Azmin (Perikatan Nasional), Datuk Seri Amirudin Shari (Pakatan Harapan), Datuk Megat Zulkarnain Omardin (Barisan Nasional), \u00a0Datuk Dr. Aziz Jamaludin (Parti Pejuang Tanahair) dan Ir. Haji Zulkifli Ahmad (parti bebas). Kelima-lima calon tersebut bersaing untuk menawan Parlimen Gombak. Berdasarkan data Suruhanjaya Piliharaya, pemilih yang berdaftar dengan Parlimen Gombak berjumlah 206 744 orang.\nBiar siapa jua calon, masyarakat di kawasan tersebut sehingga petang tadi terus bersemangat untuk mengundi calon pilihan mereka. Menurut seorang pekerja Foodpanda yang ditemui di lokasi pengundian, beliau menyatakan bahawa beliau turut mencari ruang mengundi pada sebelah petang memandangkan pada waktu pagi beliau perlu bekerja untuk mencari pendapatan. Apabila ditanya tentang calon yang bakal menerajui kawasan tersebut, Encik Anwar, 43 tahun menyatakan bahawa calon yang dipilih ialah pemimpin yang sentiasa membantu rakyat. Pada masa yang sama, beliau berharap agar pemimpin yang akan menawan Parlimen Gombak ialah pemimpin yang mengambil tahu akan keluh kesah rakyat, pemimpin yang dapat turun padang membantu rakyat dan golongan sepertinya.\nSeorang lagi pengundi yang turut ditemu bual pada petang ini, iaitu Norfazli Shah, 42 tahun yang berasal dari kawasan Gombak. Menurut Norfazli, beliau berharap agar pemimpin yang bakal terpilih di kawasan itu ialah pemimpin yang bagus, pemimpin yang mempunyai ciri kepimpinan serta pemimpin yang memahami gerak nadi rakyat. Beliau yang kali kedua mengundi di lokasi tersebut menyatakan bahawa sebagai rakyat, beliau akan memberikan kerjasama yang baik kepada pemimpin sekiranya pemimpin tersebut turut memberikan kerjasama yang baik kepada rakyat." "P.090 Bera: Lebih 60 Peratus Keluar Mengundi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBera \u2013 Dengan berbaki tiga jam lagi sebelum waktu pembuangan undi ditutup di P.090 Bera, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan peratusan keluar mengundi di kawasan parlimen tersebut adalah hampir 70 peratus setakat pukul 3.00 petang.\nTinjauan Dewan Masyarakat mendapati peratusan keluar mengundi tersebut turut dipengaruhi oleh faktor cuaca yang baik di sekitar Parlimen Bera hingga menjelang waktu akhir pembuangan undi. Selain tu, keadaan pusat mengundi di sekitar Parlimen Bera juga berjalan dengan lancar, termasuk keadaan trafik di kawasan sekitar tempat pembuangan undi.\nPada Pilihan Raya Ke-15 (PRU-15), P.090 Bera mencatat pemilih berdaftar berjumlah 77 669 orang. Di kawasan tersebut\u00a0menyaksikan pertembungan tiga penjuru calon, iaitu Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob (Barisan Nasional), Dato\u2019 Asmawi (Perikatan Nasional) dan Haji Abas Awang (Pakatan Harapan)." "PRU-15: Penduduk Bera Teruja Membuang Undi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBera \u2013 Rata-rata pengundi di Parlimen Bera pada hari ini mengatakan bahawa pemilihan pemimpin adalah berdasarkan pucuk kepimpinan yang mengangkat keharmonian kaum, kemakmuran ekonomi, kestabilan politik, serta kesucian agama tanpa mengetepikan agama lain, sebagai asas dalam mentadbir negara.\nMenurut Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Bera, Datuk Zaman Azam Mohamat Sarif dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa sebanyak 77 669 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia bagi Parlimen Bera.\nDalam tinjauan Dewan Masyarakat\u00a0yang menemu bual pengundi perantau kawasan Parlimen Bera, Syaifullah, 32 tahun berkata, biarpun terpaksa menempuh lebih empat jam sampai ke kampung halaman, namun itu tidak menghalang beliau untuk pulang memilih pemimpin yang amanah, bersih dan bertanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat Bera.\nPada PRU-15 kali ini, Syera, 28 tahun berharap agar pemimpin yang bakal memenangi kerusi di Parlimen Bera ini ialah seorang yang mampu dan tegas dalam memastikan keharmonian dan kestabilan negara.\nSaya turut berharap agar amalan rasuah dan sentimen perkauman dapat ditangani. Kita sebagai rakyat haruslah hidup dalam suasana aman dan damai.\nZakaria, 18 tahun yang juga merupakan pengundi kali pertama mengakui berasa gementar, namun tetap teruja untuk membuang undi di Parlimen Bera.\nKatanya,\nPRU-15 amat berbeza berbanding dengan PRU terdahulu kerana remaja kini diberi peranan sebagai tonggak untuk bersama-sama menentukan arah dan corak pentadbiran negara, bukan lagi sebagai pemerhati saja.\nSuet Yee, 44 tahun, penduduk kampung Bera itu turut menyokong pendapat tersebut dan mengatakan bahawa golongan remaja kini merupakan antara komuniti yang penting untuk memastikan hala tuju negara yang telus, dinamik dan harmoni, selain memilih calon yang berwibawa dan parti yang stabil.\nSementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Lee Kuok Tiung ketika diwawancara berkaitan dengan pengundi muda, beliau berkata:\nKelompok pengundi muda ini hakikatnya mempunyai aspirasi dan pemikiran tersendiri.\nNamun begitu, ada sesetengah daripadanya lebih cenderung mengikuti jalur politik keluarga dan ibu bapa, serta pengaruh rakan sebaya disebabkan oleh kurang pendedahan terhadap hal berkaitan dengan pentadbiran politik negara, bahkan untuk mengenali ahli politik itu sendiri.\nMengulas lebih lanjut, Dr. Lee Kuok Tiong berpendapat bahawa biarpun baru pertama kali terbabit dalam menentukan wakil rakyat kawasan dalam proses demokrasi negara, pengundi muda termasuklah pengundi biasa meletakkan harapan tinggi terhadap Ahli Parlimen Bera yang berjaya dalam PRU-15\u00a0 pada kali ini." "SPR: Sebanyak 70 Peratus Pengundi Keluar Mengundi Sehingga Pukul 4.00 Petang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nHari mengundi bersempena dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 yang ditetapkan pada hari ini, 19 November 2022 menyaksikan 70 peratus pengundi telah keluar mengundi sehingga pukul 4.00 petang hari ini. Peratusan itu dinyatakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi laman web rasminya.\nMenurut Daftar Pemilih yang dikemas kini SPR hingga 9 Oktober 2022, sebanyak 21 173 638 orang pemilih yang layak mengundi pada PRU-15. Mereka terdiri daripada 20 905 366 pengundi biasa, 146 737 anggota tentera serta pasangan, 118 794 anggota polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara." "Tan Sri Muhyiddin Yasin Mempertahankan Kerusi Pagoh dengan Majoriti Besar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMuar \u2013 Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menang besar dengan majoriti 10 007 undi dengan memperoleh 24 986 undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hari ini.\nPenyandang kerusi Parlimen Pagoh yang juga Perdana Menteri Malaysia Kelapan itu berjaya menewaskan pencabar daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Razali Ibrahim (14 426 undi) dan calon Pakatan Harapan (PH), Iskandar Shah (14 979 undi).\nKemenangan bergaya Tan Sri Muhyiddin Yassin itu menepati ramalan banyak pihak termasuklah penganalisis politik apabila mendahului pengiraan undian di P.143 Parlimen Pagoh dengan meninggalkan dua orang calon yang lain dengan kelebihan 10 000 undi setakat 11.00 malam tadi. Kelebihan ternyata memihak kepada beliau yang telah mewakili kerusi tersebut sejak 1978.\nKesemua calon mengemukakan borang pencalonan masing-masing sebelum tempoh sejam penamaan calon tamat tepat jam 10.00 pagi tadi. Pengumuman rasmi calon yang bertanding dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Muhammad Helmi Ya\u2019kub setengah jam selepas tempoh pencalonan ditutup.\nTan Sri Muhyiddin merupakan calon pertama yang menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.03 pagi diikuti oleh Iskandar Shah, pada pukul 9.08 pagi, manakala Datuk Seri Razali Ibrahim pada pukul 9.12 pagi tadi.\nRatusan penyokong parti yang bertanding memenuhi perkarangan pusat konvensyen berkenaan seawal jam 8.30 pagi dengan mengiringi calon masing-masing dalam sebuah persaingan yang begitu sengit kerana kerusi Parlimen Pagoh disifatkan sebagai antara kerusi tumpuan pada PRU-15 ini.\nUntuk rekod, beliau telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Kelapan pada 29 Februari 2020 dan mengangkat sumpah jawatan tersebut pada 1 Mac 2020 selepas peletakan jawatan yang tidak dijangka seluruh rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri Malaysia Ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 24 Februari 2020.\nTan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia Kelapan pada 16 Ogos 2021 selepas kehilangan kepercayaan oleh majoriti ahli Dewan Rakyat yang diketuai oleh ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama-sama 14 orang ahli Parlimen BN daripada UMNO dan kesemua 115 orang ahli Parlimen pembangkang yang terdiri daripada Pakatan Harapan, Parti Warisan Sabah, Parti Pejuang Tanah Air, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu dan Bebas.\nBeliau menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia sehingga 21 Ogos 2021, iaitu selama 17 bulan, dua minggu dan satu hari. Selepas itu, jawatan Perdana Menteri tersebut diambil alih oleh Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia Kesembilan. Pada 4 September 2021, beliau dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri oleh Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob yang diumumkan oleh Setiausaha Jemaah Menteri, Tan Sri Mohd Zuki Ali yang merupakan Ketua Setiausaha Negara.\nUniknya beliau sebagai seorang daripada pemimpin berpengaruh di negara ini, Tan Sri Muhyidin Yasin juga merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Gambir. Beliau pernah mengetuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai Presiden sebelum menubuhkan Perikatan Nasional berikutan peristiwa yang dinamakan \u201cLangkah Sheraton\u201c.\nBeliau pernah menjadi Timbalan Presiden Pakatan Harapan dari tahun 2016 hingga awal 2020. Selain itu, beliau turut berpengalaman sebagai Timbalan Perdana Menteri dari tahun 2009 hingga 2015, Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden UMNO\u00a0 dari tahun 2009 hingga 2016 sebelum digugurkan oleh Perdana Menteri Keenam pada ketika itu, Dato\u2019 Sri Najib Tun Abdul Razak dan digantikan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri selepasnya.\nBeliau dibesarkan di Johor dan menyertai perkhidmatan awam negeri selepas menamatkan pengajian dari Universiti Malaya, selain mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan dan korporat. Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan figura politik tanah air yang turut melalui perjalanan politik penuh warna-warni kerana pernah menyertai setiap parti utama di negara ini, di samping mengekalkan rekod cemerlang di Parlimen Pagoh dengan mewakili parti yang berbeza." "Keputusan Kerusi Panas PRU-15\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSebaik-baik sahaja pusat pengundian ditutup tepat pada pukul 6.00 petang tadi, yang dinanti-nantikan bukan sahaja keputusan keseluruhan Pilihan Raya Umum (PRU-15) dan parti yang bakal membentuk kerajaan, tetapi kerusi panas yang menjadi tumpuan sejak tarikh pencalonan calon dan tamat tempoh berkempen diumumkan. Dewan Masyarakat mengukur kerusi panas dengan melihat calon yang bertanding; pertembungan seteru politik; pertembungan calon lompat parti; pertembungan calon yang tidak dipilih oleh parti, tetapi bertanding atas tiket bebas; pertembungan banyak penjuru; dan calon Perdana Menteri.\nIkuti keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) PRU-15 dari semasa ke semasa untuk 16 kerusi panas yang berikut:\u00a0\nPARLIMEN:\u00a0P.063 TAMBUN\n\nANWAR IBRAHIM \u2013 49 625 (39.77%) Majoriti 3736\n\nAMINUDDIN HANAFIAH \u2013 28 140 (22.55%)\n\nABDUL RAHIM TAHIR \u2013 1115 (0.89%)\n\nAHMAD FAIZAL AZUMU \u2013 45 889 (36.78%)\nPARLIMEN:\u00a0P.075 BAGAN DATUK\n\nTAWFIK TUN DR ISMAIL \u2013 226 (0.54%)\n\nDR. FAIZ NA\u2019AMAN \u2013 8822 (21.08%)\n\nDATUK SERI HAJI SHAMSUL ISKANDAR \u2013 16 230 (38.76%)\n\nZAHID HAMIDI \u2013 16 578 (39.61%)\n\u00a0 \u00a0 PARLIMEN:\u00a0P.004 LANGKAWI\n\nDATO PADUKA ABD KADIR \u00a0\u2013 \u00a089 (0.19%)\n\nMOHD SUHAIMI ABDULLAH \u2013 25 463 (53.63%) Majoriti 13 518\n\nMAHATHIR MOHAMAD \u2013 4566 (9.62%)\n\nDATO\u2019 ARMISHAH SIRAJ (DAS) \u2013 11 945 (25.16%)\n\nZABIDI YAHYA \u2013 5417 (11.41%)\nPARLIMEN:\u00a0P.003 ARAU\n\nFATHIN AMELINA FAZLIE \u2013 7089 (15.15%)\n\nSHAHIDAN KASSIM \u2013 31 458 (67.23%) Majoriti 23 216\u00a0\n\nROZABIL ABD RAHMAN \u2013 8242 (17.62%)\nPARLIMEN:\u00a0P.098 GOMBAK\n\nDATO\u2019 SERI AZMIN ALI \u2013 59 538 (35.99%)\n\nAMIRUDIN SHARI \u2013\u00a072 267 (43.69%)\u00a0Majoriti 12 729\n\nDATUK DR. AZIZ JAMALUDIN \u2013 2223 (1.34%)\n\nIR. HJ. ZULKIFLI \u2013 675 (0.41%)\n\nMEGAT ZULKARNAIN OMARDIN \u2013 \u00a030 723 (18.57%)\n\u00a0\nPARLIMEN:\u00a0P.096 KUALA SELANGOR\u00a0\n\nTENGKU ZAFRUL AZIZ \u00a0 30 031 (34.73%)\n\nYB SHAID ROSLI \u00a0 1778 (2.06%)\n\nDS DR DZULKEFLY AHMAD \u00a031 033 (35.88%) \u00a0Majoriti 1002\n\nUSTAZ MOHD NOOR SHAHAR \u00a023 639 (27.33%)\nPARLIMEN:\u00a0P.099 AMPANG\n\nRODZIAH ISMAIL \u2013 56 754 (54.35%) Majoriti 54.35%\u00a0\n\nIVONE LOW YI WEN \u2013 11 509 (11.02%)\n\nM.RAVEEN \u2013 148 (0.14%)\n\nZURAIDA KAMARUDDIN \u2013 4589 (4.39%)\n\nDR. NURUL ASHIKIN \u2013 2653 (2.54%)\n\nBRYAN LAI \u2013 1423 (1.36%)\n\nSASHA LYNA \u2013 27 073 (25.92%)\n\nMUHAMMAD SHAFIQ IZWAN BIN MOHD YUNOS \u2013 188 (0.18%)\n\nTAN HUA MENG \u2013 93 (0.09%)\nPARLIMEN:\u00a0P.107 SUNGAI BULOH\n\nAHMAD JUFLIZ \u2013 279 (0.22%)\n\nAKMAL YUSOFF \u2013 829 (0.64%)\n\nNURHASLINDA BASRI \u2013 113 (0.09%)\n\nKHAIRY JAMALUDDIN \u2013 48 250 (37.22%)\n\nSYED RAZAK ALSAGOFF \u2013 165 (0.13%)\n\nRAMANAN RAMAKRISHNAN \u2013 50 943 (39.30%)\n\nHJ MOHD GHAZALI MD HAMIN \u2013 29 060 (22.42%)\nPARLIMEN:\u00a0P.019 TUMPAT\n\u00a0\n\nKHAIRUL AZUAN \u2013 245 (0.23%)\n\nMUMTAZ MD NAWI \u2013 65 426 (62.51%) Majoriti 34 795\n\nASRI ALI\n\nHAJI WAN JO\n\nDATO\u2019 CHE LAH (DCL)\nPARLIMEN:\u00a0P.035 KUALA NERUS\n\u00a0\n\nDATO\u2019 DR. HAJI ALIAS RAZAK \u2013 56 697 (64.70%) Majoriti 29 765\u00a0\n\nUST. DATO\u2019 DR. KHAIRUDDIN TAKIRI \u2013 26 932 (30.75%)\n\nAZAHA WAHID \u2013 291 (0.33%)\n\nDATO\u2019 SERI SUHAIMI HASHIM \u2013 3708 (4.23)\nPARLIMEN:\u00a0P.115 BATU\n\nSITI KASIM \u2013 653 (0.75%)\n\nTIAN CHUA \u2013 4603 (5.28%)\n\nPRABAKARAN PARAMESWARAN \u2013 45 716 (52.46%) Majoriti 22 241\u00a0\n\nZULKIFLI FATTAH \u2013 137 (0.16%)\n\nTOO GAO HUAT \u2013 112 (0.13%)\n\nWAN AZLIANA \u2013 849 (0.97%)\n\nAZHAR YAHYA \u2013 23 475 (26.93%)\n\nNATHAN BATU \u2013 575 (0.66%)\n\nA. KOHILAN PILLAY \u2013 10 398 (11.93%)\n\nNUR FATHIAH SYAZWANA @ CLEO \u2013 628 (0.72%)\nPARLIMEN:\u00a0P.119 TITIWANGSA\n\nDR. ROSNI ADAM \u2013 14 518 (23.86)\n\nKHALID ABD SAMAD \u2013 20 410 (33.54%)\n\nDATO\u2019 SRI KHAIRUDDIN ABU HASSAN \u2013 888 (1.46%)\n\nDATUK SERI JOHARI GHANI \u2013 25 042 (41.15%) Majoriti 4632\nPARLIMEN:\u00a0P.125 PUTRAJAYA\n\nTENGKU ADNAN TENGKU MANSOR \u2013 13 692 (37.37%)\n\nNORAISHAH MYDIN HAJI ABDUL AZIZ \u2013 5988 (16.34%)\n\nDATO\u2019 MOHD ROSLI RAMLI \u2013 878 (2.40%)\n\nSAMSUDIN PKPKL \u2013 63 (0.17%)\n\nDR. RADZI JIDIN (DRJ) \u2013 16 002 (43.67%) \u2013 Majoriti 2310\n\nLIM FICE BEE \u2013 20 (0.05%)\nPARLIMEN:\u00a0P.170 TUARAN\n\nMADIUS TANGAU \u2013 24 943 (42.84%) Majoriti 233\u00a0\n\nBOBY LEWAT \u2013 393 (0.67%)\n\nNOORTAIP SUHAILI @ SUALEE \u2013 2008 (3.45%)\n\nJO-ANNA SUE HENLEY RAMPAS \u2013 5728 (9.84%)\n\nMUMININ NORBINSHA \u2013 445 (0.76%)\n\nJONISTON BANGKUAI \u2013 24710 (42.44%)\nPARLIMEN:\u00a0P.183 BELURAN\n\nBENEDICT ASMAT \u2013 9709 (33.10%)\n\nROWIENA RASID \u2013 3707 (12.64%)\n\nHAUSING SAMSUDIN @ SUDIN \u2013 155 (0.53%)\n\nRONALD KIANDEE \u2013 11 303 (38.53%) Majoriti 1594\u00a0\n\nFELIX JOSEPH SAANG \u2013 4460 (15.20%)\nPARLIMEN:\u00a0P.181 TENOM\n\nNOORITA SUAL \u2013 8919 (31.13%)\n\nJAMAWI JA\u2019AFAR \u2013 8625 (30.11%)\n\nRIDUAN RUBIN \u2013 10 027 (35.%) Majoriti 1108\n\nUKIM BUANDI \u2013 992 (3.46%)\n\nPEGGY CHAW ZHI TING \u2013 86 (0.30%)" "Keputusan PRU-15: PH Menang 82 Kerusi, PN 73 Kerusi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nPada pukul 4.30 pagi, Pilihan Raya Umum Ke-15 memperlihatkan Pakatan Harapan (PH) menang sebanyak 82 kerusi, diikuti dengan Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi, Barisan Nasional (BN) dengan 30 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan 22 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan 6 kerusi, manakala Bebas hanya memperoleh 6 kerusi.\nPH 82 kerusi | PN 73 kerusi | BN 30 kerusi | GPS 22 kerusi | GRS 6 kerusi | Lain-lain 6 kerusi.\nSumber: Astro Awani." "Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim Tawan Tambun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIpoh \u2013\u00a0Tambun sah milik Presiden Pakatan Harapan (PH) Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Setakat berita ini ditulis, beliau selesa mendahului dengan majoriti lebih daripada 5000 undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini. Beliau mendapat 35 940 undi. Jumlah pengundi berdaftar bagi Parlimen Tambun adalah sebanyak 160 558.\nPencabar terdekat beliau, iaitu Dato\u2019 Seri Ahmad Faizal Azumu yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Tambun sendiri yang juga merupakan Timbalan Presiden Parti BERSATU meraih undi sebanyak 31 033, manakala pencabar lain, iaitu Aminuddin Md Hanafiah daripada Barisan Nasional mendapat 18 299 dan Abdul Rahim Tahir daripada PEJUANG meraih undi sebanyak 760.\n\nKemenangan Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim ini sudah dijangka oleh banyak pihak, terutamanya daripada beberapa orang penganalisis politik terkenal serta ulasan dan pandangan daripada penduduk yang berada di bawah Parlimen Tambun sendiri. Hal ini dapat dilihat ketika suasana dan keadaan malam kemuncak kempen sebelum hari pengundian esoknya (19 November 2022). Hanya kempen Pakatan Harapan yang meriah dan dibanjiri orang ramai pada malam terakhir berbanding dengan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional serta Pejuang.\nTinjauan wartawan Dewan Masyarakat\u00a0pada malam kemuncak kempen tersebut seakan-akan memberikan petanda awal terhadap kemenangan Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim. Salah seorang pengundi muda yang berusia 33 tahun yang hanya mahu dikenali dengan nama Muhammad Faliq, menyatakan bahawa walaupun Anwar Ibrahim bukan merupakan penduduk asal Tambun, namun karakter dan auranya terserlah, tambah-tambah lagi beliau merupakan calon Perdana Menteri daripada Harapan. Ujarnya,\nSaya secara peribadi sebagai pengundi muda merasakan bahawa tiada calon Perdana Menteri yang lebih bagus daripada Anwar Ibrahim. Peja bagus dan jika bukan Anwar Ibrahim yang menentangnya, berkemungkinan besar Peja boleh kekalkan kerusi ini.\nBagaimanapun, kemenangan beliau ini (setakat berita ini ditulis) tidak boleh memastikan secara utuh adakah beliau akan menjadi Perdana Menteri yang seterusnya? Adakah slogan kempen beliau, iaitu \u201cDari Tambun untuk Malaysia\u201c bakal menjadi realiti? Apa-apa pun, kini sah Tambun milik Anwar!" "\u201cSeorang Tua\u201d atau \u201cSeorang Orang Tua\u201d?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nFrasa yang manakah yang tepat antara seorang tua dengan seorang orang tua seperti yang terdapat dalam ayat di bawah ini?\n1. Seorang tua sedang mengelamun di pintu depan rumahnya.\n2. Seorang orang tua sedang mengelamun di pintu depan rumahnya.\nSekian, terima kasih.\nDaripada:\nIzwan,\nSandakan, Sabah." "Bera Kekal Milik Dato\u2019 Seri Ismail Sabri Yaakob\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBera \u2013\u00a0 Calon Barisan Nasional (BN), Dato\u2019 Seri Ismail Sabri Yaakob mempertahankan kerusi Parlimen Bera pada Pilihan Raya Umum Ke- 15 (PRU-15) dengan majoriti 16 965 undi. Kemenangan tersebut sekali gus membuktikan bahawa pengundi di Parlimen Bera masih mengakui kewibaan Dato\u2019 Seri Ismail Sabri yang telah mendapat mandat sebagai Ahli Parlimen Bera sejak dari tahun 2004.\nTerdahulu, Dato\u2019 Seri Ismail Sabri yang juga merupakan Naib Presiden UMNO berjaya mempertahankan kerusinya dengan memperoleh sebanyak 20 760 undi dengan mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) (2311) dan calon PAS (8096 undi) ketika PRU-14.\nPada PRU-15 kali ini, semangat Keluarga Malaysia yang menjadi aspirasi beliau telah membuatkan beliau sekali lagi mendapat mandat di P.090 Bera, dengan jumlah undi sebanyak 31 762, iaitu meningkat sebanyak 11 002 undi berbanding dengan PRU-14. Pada kali ini, beliau telah mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH) sebanyak 15 067 undi dan calon Perikatan Nasional (PN) dengan undi sebanyak 12 719.\nPeratusan pengundian berbanding dengan jumlah pemilih adalah sebanyak 77.90 peratus. Pengumuman rasmi keputusan P.090 Bera telah diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Bera, Datuk Zaman Azam Mohamat Sarif di Dewan Konvesyen Majlis Daerah Bera.\nKeputusan penuh P.090 Bera adalah seperti yang berikut." "Tujuh Parlimen Menyaksikan Peratusan Keluar Mengundi Tertinggi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nDewan Masyarakat menyenaraikan tujuh Parlimen yang mencatatkan jumlah peratusan pengundi tertinggi yang keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Parlimen tersebut adalah seperti yang berikut:\nSementara itu, Parlimen Semporna mencatatkan jumlah peratusan terendah yang keluar mengundi pada PRU-15, iaitu sebanyak 53.91 peratus." "Syor daripada NGO Bersih Jika Parlimen Tergantung\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSetakat berita ini ditulis, masih tidak ada lagi parti dan gabungan yang memiliki majoriti jelas \u201cuntuk ke Putrajaya\u201c. PH sedang mendahului dengan memiliki 73 kerusi, namun menurut perkembangan semasa, tiada mana-mana parti mampu memperoleh majoriti mudah 111 kerusi.\nOleh itu, NGO Bersih dalam kenyataannya memberikan beberapa syor. Antaranya ialah:" "Tiada Parti Dominan Membentuk Kerajaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cJelas, seperti yang dijangkakan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), tiada parti yang dominan sehingga boleh membentuk kerajaan.\u201d Demikian menurut Felow Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr. Jeniri Amir, ketika diwawancara oleh Dewan Masyarakat, awal\u00a0pagi ini.\nTambah Profesor Dr. Jeniri, \u201cPada PRU-15, dilema pengundi kini dilihat apabila mereka tidak mahu memilih Pakatan Harapan (PH) dan tidak juga mahu mengundi Barisan Nasional (BN). Pada masa yang sama, pengundi tidak memberikan kepercayaan kepada Gerakan Tanah Air (GTA) yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pilihan yang ada hanyalah memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).\u201d\nPengundi BN dilihat beralih arah rentetan tindakan parti tersebut menggugurkan nama besar sebagai calon, misalnya di Parlimen Arau, Shahidan Kassim, dan beberapa orang pemimpin lain. Akan tetapi, pada hakikatnya, faktor utama penyokong BN beralih arah adalah kerana parti itu dikaitkan dengan imej buruk seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Menurut beliau lagi:\nWalaupun mereka beriya-iya benar untuk berdepan dengan PRU-15, namun dilihat berlaku juga sabotaj dalaman parti.\nSelain itu, Profesor Dr. Jeniri juga berkata, \u201cBerkemungkinan peratusan keluar mengundi yang selama ini menyokong UMNO tidak turun mengundi, malah mereka tidak juga memberikan sokongan yang kuat kepada PH khususnya dalam kalangan pengundi Melayu. Tambahan pula, faktor pengundi muda juga kelihatan memberikan impak yang besar apabila mereka tidak memberikan sokongan kepada BN.\u201d\nSecara relatifnya, penganalisis politik ini berpendapat bahawa PN dilihat oleh pengundi sebagai parti yang bersih; dan dalam masa yang sama, pentadbiran PH telah pun dinilai selama 22 bulan ketika memerintah negara sebelum ini. Jelas beliau:\nGTA pula dianggap sebagai parti yang memang lemah. Dalam PRU-15 ini, sebahagian besar daripada calon GTA juga hilang wang pertaruhan. Maka itu, pengundi melihat pilihan terbaik yang ada ialah PN. Oleh sebab itulah secara keseluruhannya, PN memenangi 73 kerusi.\n\u00a0\nProfesor Dr. Jeniri turut berpandangan bahawa parti yang dapat menarik perhatian gabungan lain termasuk BN dan gabungan dari Sabah dan Sarawak ialah PN, berbanding dengan PH. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka sudah tahu dan sudah selesa dengan PN, susulan daripada kerjasama antara mereka sebelum ini. Tambahan pula, khususnya daripada pihak PN, mereka tidak mahu memberikan kerjasama dengan PH selagi ada DAP yang berada dalam pakatan itu.\nTengah malam tadi, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa beliau telah menerima surat daripada Istana Negara dengan arahan tertentu, jadi seolah-olah memberikan gambaran bahawa beliau sudah pun berhubung dengan gabungan tertentu dan mendapat sokongan. Namun begitu, pada masa yang sama, Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau juga bakal membentuk kerajaan. Beginilah keadaannya sekitar kira-kira pukul 3.00 pagi tadi." "Tidak dengan PH \u2013 Tan Sri Muhyiddin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerikatan Nasional (PN) yang memenangi 73 kerusi Parlimen, iaitu kedua tertinggi selepas Pakatan Harapan (PH), memuktamadkan untuk tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam membuat membentuk kerajaan.\nTan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang medianya menjelaskan bahawa PN akan berbincang dengan parti di Sabah dan di Sarawak\u00a0 untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. Pada masa yang sama, gabungan itu juga terbuka untuk menerima mana-mana parti yang boleh menerima prinsip perjuangan PN untuk membentuk kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil.\nWalau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa beliau tidak akan bekerjasama dengan PH. Jelas beliau:\n\u201cKami akan mengadakan perbincangan esok (hari ini) dan harap esok petang, kami boleh memuktamadkan keputusan kami,\u201d ujarnya dalam sidang media di Shah Alam awal pagi ini.\nBeliau turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima surat dari Istana Negara, namun enggan mendedahkan kandungannya.\n\u201cTelah diberi kepada kita (PN) perkara-perkara yang perlu kita sempurnakan mengikut kehendak Yang di-Pertuan Agong. Perkara ni perlu kita ambil langkah secepat mungkin,\u201d katanya.\nTerdahulu Pengerusi Parti Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg menerusi sidang parti itu pada awal pagi tadi berkata setakat ini pihaknya belum memutuskan untuk kerjasama dengan parti gabungan di Semenanjung bagi membentuk kerajaan." "Sebahagian Nama Besar Tewas dalam PRU-15\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menyaksikan sebahagian daripada nama besar tewas dalam usaha mendapatkan mandat daripada rakyat di parlimen masing-masing.\nMenurut Profesor Dr. Sivamurugan Pandian, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), hal ini terjadi barangkali disebabkan oleh persekitaran politik yang sudah berubah dan kesukaran untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi. Misalnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Presiden Pejuang Tanah Air (Pejuang); Vigneswaran Sanasee, Presiden MIC; dan Dato\u2019 Dr. Mah Hang Soon, Timbalan Presiden MCA Perak yang bertanding pada PRU kali ini. Jelas Profesor Dr. Sivamurugan:\nMungkin juga dilihat kepada pengundi muda dan pengundi kali pertama yang secara automatik didaftarkan, yang sebelum ini tidak ada keinginan untuk menyokong mana-mana parti politik, iaitu BN dan PH, lalu mereka memilih PN.\nJadi, banyak faktor yang menyebabkan kekalahan ini berlaku. Faktor demografi juga boleh mempengaruhi jumlah undi mengikut kawasan. Antaranya termasuklah Nurul Izzah di kawasan Permatang Pauh yang mempunyai pengaruh PAS yang kuat. Pada hakikatnya, DUN Penanti dan DUN Pematang Pasir mempunyai penyokong tegar PAS. Oleh sebab PAS berada di bawah PN, maka PN bukan sahaja berjaya menambat hati penyokong tegar PAS, malah golongan yang tidak menyebelahi UMNO dan melihat PN sebagai pilihan.\nUjar Profesor Dr. Sivamurugan ketika diwawancara oleh Dewan Masyarakat lagi:\nDengan tiadanya pemimpin lama ini, situasi ini membuka ruang dan peluang kepada muka baharu untuk memperlihatkan kewibawaan mereka dalam mentadbir negara.\nPendominasian beberapa individu selama ini menyebabkan politik tanah air berada pada takuk yang sama. Barangkali kehadiran muka baharu ini dirasakan perlu kerana mereka memahami citra rasa pengundi baharu.\nYang berikut merupakan 20 nama besar calon PRU-15:\nLANGKAWI\nJumlah Undi: 4566\nJumlah Undi: 25\u00a0463\nGUA MUSANG\nJumlah Undi: 21\u00a0663\nJumlah Undi: 21\u00a0826\nSUNGAI BULOH\nJumlah Undi: 48\u00a0250\nJumlah Undi: 50\u00a0943\nJumlah Undi:\n13 692\nJumlah Undi: 16\u00a0002\n\u00a0\nPERMATANG PAUH\nJumlah Undi: 32\u00a0366\nJumlah Undi:\n37 638\nTAMBUN\nJumlah Undi: 45\u00a0889\nJumlah Undi: 49\u00a0625\nSIMPANG RENGGAM\nJumlah Undi: 16\u00a0491\n\u00a0\nJumlah Undi: 18\u00a0312\nKUALA SELANGOR\nJumlah Undi: 30\u00a0031\n\u00a0\nJumlah Undi: 31\u00a0033\n\u00a0\nGOMBAK\nJumlah Undi: 59\u00a0538\n\u00a0\nJumlah Undi: 72\u00a0267\n\u00a0\nKULIM-BANDAR BAHARU\nJumlah Undi: 21\u00a0408\n\u00a0\nJumlah Undi: 34\u00a0469\n\u00a0\nAMPANG\nJumlah Undi: 4589\n\u00a0\nJumlah Undi: 56\u00a0754\n\u00a0\nALOR GAJAH\nJumlah Undi: 27\u00a0288\n\u00a0\nJumlah Undi: 28\u00a0178\n\u00a0\nGERIK\nJumlah Undi: 13\u00a0728\n\u00a0\nJumlah Undi: 15\u00a0105\n\u00a0\nSEPANG\nJumlah Undi: 47\u00a0315\n\u00a0\nJumlah Undi: 56\u00a0264\n\u00a0\nTITIWANGSA\nJumlah Undi: 20\u00a0410\n\u00a0\nJumlah Undi: 25\u00a0042\n\u00a0\nJumlah Undi: 24\u00a0383\nJumlah Undi: 25\u00a0075\n\u00a0\nPARIT BUNTAR\nJumlah Undi: 17\u00a0828\n\u00a0\nJumlah Undi: 23\u00a0223\n\u00a0\nKEPALA BATAS\nJumlah Undi: 25\u00a0737\nJumlah Undi:\n28 604\n\u00a0\nTANJONG MALIM\nJumlah Undi:\n20 963\nJumlah Undi:\n25 140\nPOKOK SENA\nJumlah Undi: 20\u00a0524\n\u00a0\nJumlah Undi: 52\u00a0275" "Parlimen Tergantung: Proses Rundingan Bermula\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSelepas tidak ada mana-mana parti yang berjaya meraih majoriti dan membentuk kerajaan, hari ini akan menjadi hari yang penting untuk parti yang berjaya memenangi kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Parti yang dijangka menjadi tumpuan pastinya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) apabila kedua-dua parti ini bakal menjadi pelengkap majoriti parti yang akan membentuk kerajaan.\nDalam hal ini, menjadi tanda tanya, adakah GRS dan GPS akan menerima tawaran daripada Pakatan Harapan (PH) yang memenangi jumlah terbesar 82 kerusi Parlimen, diikuti dengan Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi dan Barisan Nasional (BN) dengan 30 kerusi. \nMenurut Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, parti tu akan bekerjasama dengan GPS untuk membentuk \u201cBlok Broneo\u201d untuk melengkapkan parti yang akan memerintah. Kerjasama ini katanya, penting untuk memastikan kepentingan Sabah dan Sarawak terus terpelihara. Sementara itu, bagi Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, pihaknya belum membuat keputusan untuk bekerjasama dengan parti gabungan parti di Semenanjung bagi membentuk kerajaan. Ujarnya, apa-apa pun kerjasama yang akan termeterai, GPS akan memastikan perkara tersebut akan memihak kepada kepentingan rakyat Sarawak. \nBagi PH dan PN, masing-masing menjelaskan bahawa kedua-dua parti ini akan membentuk kerajaan dengan gabungan parti yang menang, khususnya di Sabah dan di Sarawak. Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang medianya turut menyatakan bahawa PN akan berbincang dengan parti di Sabah dan di Sarawak\u00a0 untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. Pada masa yang sama, gabungan itu juga terbuka untuk menerima mana-mana parti yang boleh menerima prinsip perjuangan PN untuk membentuk kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa beliau tidak akan bekerjasama dengan PH. \n\u201cKami akan mengadakan perbincangan esok (hari ini) dan harap esok petang, kami boleh memuktamadkan keputusan kami,\u201d ujarnya dalam sidang media di Shah Alam awal pagi ini. Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima surat dari Istana Negara namun enggan mendedahkan kandungannya.\nSementara itu, Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim pula menjelaskan bahawa PH mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan. Beliau menyatakan bahawa PH mempunyai sokongan 111 atau 112 untuk membentuk kerajaan. Walau bagaimanapun, setakat berita ini ditulis, PH belum mendedahkan rakan kerjasama yang dimaksudkan kerana menurutnya perkara itu hanya akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.\nKeputusan PRU-15 menyaksikan Parlimen tergantung dengan PH (82), PN (73 ), BN (30), GPS (22), GRS (6) dan Lain-lain (6)." "Penggabungan Ideal: PH-BN atau PN-GPS?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKeputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menyaksikan Parlimen Malaysia tergantung, dengan Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi, Perikatan Nasional (PN) memenangi 73 kerusi, Barisan Nasional (BN) dengan 30 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) meraih 22 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan 6 kerusi dan lain-lain (6 kerusi).\nBerdasarkan keputusan PRU-15 pada malam tadi, gabungan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, iaitu PN dan gabungan parti pimpinan Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim, iaitu PH mempunyai kelayakan untuk mengadakan rundingan pada hari ini bagi membentuk Kerajaan Malaysia.\nMenurut ahli pemikir Kementerian Perpaduan Negara dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr. Kassim Thukiman, \u201cRundingan tersebut mestilah berasaskan perjuangan parti masing-masing dengan modifikasi dan fleksibiliti.\u201d\n\u201cDalam PRU-15, setiap gabungan parti mengetengahkan manifesto parti masing-masing. Namun demikian, sejauh manakah pemimpin dalam gabungan boleh mengubah suai serba sedikit perjuangan sepertimana dalam manifesto mereka? Jika mereka terlalu tegar terhadap pendirian parti masing-masing, maka akan sukar untuk bekerjasama membentuk kerajaan,\u201d jelas Profesor Dr. Kassim.\nProfesor Dr. Kassim berpandangan bahawa buat masa ini, segala kemungkinan gabungan antara parti boleh terjadi, sama ada antara PH dengan GRS dan GPS, mahupun PN dengan GRS dan GPS.\nJelas beliau, \u201cTerdapat banyak perkara yang mempengaruhi hal ini. Sebelum ini, PN dengan GRS dan GPS sudah mempunyai hubungan. Kerajaan Sabah merupakan kerajaan campuran antara PN dengan BN. Akan tetapi, dalam konteks Sabah dan Sarawak, untuk pembentukan gabungan baharu, berkemungkinan akan ada perubahan apabila terdapat pemimpin yang memainkan isu yang sensitif beberapa hari menjelang PRU-15.\u201d\nJika digabungkan Sabah dan Sarawak dengan mana-mana pakatan di Semenanjung, cukup kukuh untuk membentuk sebuah kerajaan.\nDalam hal penggabungan parti ini juga, tidak akan timbul isu lompat parti yang melibatkan individu selepas Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan mula dikuatkuasakan pada 5 Oktober 2022 yang lalu.\nTegas Profesor Dr. Kassim berkaitan dengan penggabungan parti dalam membentuk kerajaan, \u201cSetiap gabungan mempunyai manifesto masing-masing. Akan tetapi, bagi tujuan kerjasama, mereka perlu fleksibel untuk mengubah suai serba sedikit inti pati perjuangan masing-masing. Dalam erti kata lain, semua parti mempunyai matlamat yang sama, iaitu membina negara terutamanya dari segi ekonomi dan pembangunan masa depan negara.\u201c\nPembentukan gabungan parti yang memfokuskan agenda pembangunan negara melepasi kepentingan parti politik masing-masing, itulah yang terbaik.\nMengakhiri sesi wawancara bersama-sama Dewan Masyarakat, Profesor Dr. Kassim berpesan, \u201cKerajaan yang stabil dan pemimpin yang berjiwa besar diperlukan untuk membina semula negara pada era pascapandemik ini. Jika segelintir pihak hanya memikirkan perjuangan masing-masing, maka negara akan menghadapi masalah besar pada masa akan datang. Hal ini dapat dilihat menerusi persidangan pemimpin dunia di Bali dan Bangkok baru-baru. Malaysia kelihatan terpencil apabila tidak ada wakil dari negara ini yang menyertai persidangan tersebut, sedangkan kita merupakan antara negara yang hebat dalam konteks negara dunia ketiga. Malah, pemimpin dari negara jiran yang menjadi wakil negara ASEAN dalam persidangan tersebut. Hal yang demikian menjadi tamparan yang sinis terhadap negara kita \u00a0\u0336 \u00a0pemimpin hanya rajin berpolitik, tetapi peranan kita pada peringkat global dikesampingkan.\u201d" "Penantian Calon PM: Adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin Berpeluang Sekali Lagi?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMuar \u2013 Ratusan penyokong Perikatan Nasional (PN) melaungkan panggilan \u201cabah\u201c yang merujuk Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaik-baik sahaja beliau diumumkan menang di Parlimen Pagoh dengan majoriti selesa selepas pengumuman dilakukan oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam. Selain sorakan \u201cabah\u201c, laungan \u201cPerikatan Nasional\u201c turut dilakukan oleh penyokongnya selepas pemimpin tertinggi parti itu menang dengan majoriti besar sebanyak 10 007 undi apabila meraih undi keseluruhan sebanyak 24 986 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).\nTan Sri Muhyiddin Yassin telah menewaskan Datuk Seri Razali Ibrahim (BN) yang memperoleh 14 426 undi, dan calon PH, Iskandar Shah Abd Rahman yang meraih 14 979 undi.\nBeliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) telah mempertahankan kerusi Pagoh melebihi lima penggal, selain pernah memenangi kerusi itu atas tiket BN sebelum ini. Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bahawa Kerajaan Persekutuan dijangka dapat dibentuk dalam masa terdekat susulan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang berlangsung semalam, sekali gus mengundang persoalan siapa yang bakal mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri (PM) Malaysia Kesepuluh dalam tempoh terdekat ini.\nPN pada hari ini menerima kunjungan daripada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Premier Sarawak bagi membincangkan pembentukan Kerajaan Persekutuan.\nPengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bahawa Kerajaan Persekutuan dijangka dapat dibentuk dalam masa terdekat susulan PRU-15 yang berlangsung semalam. Selain Premier Sarawak, turut hadir dalam pertemuan berkenaan ialah Presiden PAS, Tan Sri Haji Abdul Hadi Haji Awang.\n\u201cRundingan juga sedang dibuat dengan parti lain yang sehaluan dan ahli Parlimen Bebas. Insya-Allah, Kerajaan Persekutuan akan dapat dibentuk dalam masa terdekat,\u201c jelas beliau dalam satu kenyataan di Facebook pada hari ini.\nKeputusan PRU-15 semalam menyaksikan Pakatan Harapan memperoleh 81 kerusi, Perikatan Nasional meraih 73 undi manakala Barisan Nasional mencatat 30 undi.\nSementara itu, di sebelah Borneo, GPS yang dipimpin oleh Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendapat 22 kerusi diikuti oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memperoleh enam kerusi dan Parti Warisan Sabah dengan tiga kerusi.\nDalam perkembangan lain, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor dalam sidang media awal pagi tadi berkata bahawa GRS dan GPS pada ketika ini memuktamadkan untuk bersama-sama menyokong kerajaan yang akan memberikan kestabilan kepada Sabah dan Sarawak apabila diberikan mandat untuk memerintah kelak. Namun begitu, menurut Datuk Seri Hajiji, GRS dan GPS masih belum membuat keputusan untuk menyokong mana-mana parti untuk menjalinkan kerjasama.\nPengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi kenyataan dengan mendakwa gabungan itu telah menang dan menyatakan keyakinannya untuk membentuk kerajaan selepas menerima surat khas dari Istana Negara. Jelas beliau, gabungan itu memenangi 73 kerusi Parlimen dan akan bergabung bersama-sama parti lain kecuali PH. Jelas Tan Sri Muhyiddin, pihaknya akan berbincang bersama-sama kepimpinan parti dari Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat dan berharap agar dapat dimuktamadkan pada hari ini.\n\u201cBagi tujuan pembentukan kerajaan, saya akan berbincang bersama-sama kepimpinan parti di Sabah dan di Sarawak pada hari ini. Demi menjamin kestabilan, PN juga mengalukan penyertaan mana-mana parti yang bersedia menerima prinsip perjuangan PN untuk membentuk sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil,\u201d jelasnya ketika sidang media di Pusat Media Utama PN, di Shah Alam pada hari ini.\nMenjelang hari pembuangan undi, beliau pernah mengeluarkan kenyataan sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan bersama-sama parti lain yang sehaluan dan tumpuan utamanya adalah untuk melaksanakan semua tawaran PN Best yang dikemukakan kepada rakyat semasa tempoh berkempen. Beliau juga berharap agar dapat mewujudkan situasi politik yang stabil apabila kerajaan dibentuk kelak.\n\u201cDengan PN mengetuai kerajaan, kita berharap dapat mewujudkan situasi politik yang paling stabil. Hal ini bermakna kita perlu ambil kira pihak tertentu dalam parti lain jika mereka sehaluan dan bersedia untuk terima dasar-dasar yang akan diketuai oleh PN dan kita akan pertimbangkannya dengan teliti,\u201d jelas beliau.\nKetika ditanya oleh pihak media sama ada PN akan bekerjasama dengan PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, \u201cTidak, tidak bersama PH\u201d.\nAntara mereka yang hadir dalam sidang media itu termasuklah beberapa orang kepimpinan tertinggi parti komponen PN yang terdiri daripada BERSATU, PAS dan Gerakan." "Segelintir Pemimpin UMNO Desak Dato\u2019 Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi Letak Jawatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO, Dato\u2019 Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kini berdepan dengan desakan daripada segelintir pemimpin partinya sendiri untuk segera berundur dan memberikan kepimpinan UMNO kepada pelapis dan generasi baharu. Perkembangan ini berlaku ekoran daripada kekalahan terburuk BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 kali ini.\nSebelum turun \u201cberperang\u201c dalam PRU kali ini, beliau yakin bahawa BN akan mampu membentuk kerajaan tanpa perlu mendapat sokongan daripada parti lain selain BN. Tetapi, perkara yang terjadi adalah sebaliknya. Keretakan telah mulai timbul apabila BN mengumumkan nama-nama calon BN.\nPemimpin UMNO yang selama ini dilihat bertentangan dengannya digugurkan daripada menjadi calon PRU. Antara nama besar yang digugurkan oleh beliau ialah Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar Haji Musa, Dato\u2019 Seri Dr. Shahidan Kasssim, Tan Sri Noh Haji Omar, dan Datuk Zahidi Zainul Abidin. Lebih parah lagi, Dato\u2019 Seri Dr. Shahidan Kassim yang merupakan pemimpin UMNO Perlis bertanding di bawah tiket PN dan mendapat kemenangan selesa.\nKini, keputusan PRU sudah diketahui, dan suara penentangan lebih jelas didengungkan. Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merupakan antara pemimpin UMNO awal yang menuntut supaya beliau melepaskan jawatannya. Ujarnya,\nKita semua sedia maklum bahawa satu tsunami politik orang Melayu telah berlaku di mana orang Melayu telah menolak UMNO. UMNO telah rebah. Usaha untuk memperbaiki parti ini perlu bermula sekarang. Jika kita tidak berubah sekarang, kita tidak akan memenangi satu kerusi pun pada masa akan datang.\nSelain itu, Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Haji Omar turut meletakkan jawatan dan mengharapkan agar Dato\u2019 Seri Dr. Zahid Hamidi berbuat perkara yang sama.\nSaya dengan ini meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor kerana presiden tidak percayakan saya dan saya pun tidak percayakan presiden.\nKetua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan juga menggesa Pengerusi BN itu agar\u00a0meletakkan jawatan. Beliau menyatakan bahawa tanpa rasa hilang hormat kepada Dato\u2019 Seri Dr. Zahid Hamidi, Presiden UMNO itu perlu mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan terburuk mereka dalam sejarah pilihan raya." "Ayat Pasif Diri Pertama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\n\u00a0Ayat yang manakah di bawah ini yang betul?\n1. \u201cSaya telah saksikan persembahan itu pada malam tadi,\u201c kata Azman kepada Wahid.\n2. \u201cTelah saya saksikan persembahan itu pada malam tadi,\u201c kata Azman kepada Wahid.\nDaripada:\nZakri,\nKerteh." "Mantapkan Penggunaan Bahasa Melayu dalam Penulisan Dokumen Rasmi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu\u00a0\u2013 Satu sesi Pemugaran Bahasa dalam Penulisan Dokumen Rasmi berjaya dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) di Sudut Penulis, Kompleks DBP Cawangan Sabah. Sesi ini merupakan antara usaha yang dilakukan oleh DBPCS untuk memantapkan kemahiran karyawannya dalam aspek penyediaan dokumen rasmi, khususnya aspek bahasa. Sebanyak 30 orang peserta menghadiri sesi ini yang menampilkan Munsyi Dewan (Bahasa), iaitu Encik Abd Karim A Bakar sebagai pembimbing sesi.\nSesi Pemugaran Bahasa dimulakan pada pukul 9.00 pagi dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah, DBPCS, iaitu Puan Aminah Awang Basar. Menurut beliau, ilmu yang dimiliki oleh Encik Abd Karim A Bakar perlu dikongsi kepada masyarakat agar lebih banyak pakar bahasa Melayu dapat dilahirkan.\nPelaksanaan sesi ini amatlah signifikan kerana banyak staf baharu DBPCS yang terdiri daripada golongan muda perlu diberi pendedahan mengenai penulisan dokumen rasmi kerana DBP dikenali sebagai pentadbir bahasa Melayu.\nDalam sesi tersebut, peserta juga diberikan latihan penataran bahasa Melayu untuk mengasah pengetahuan bahasa terutamanya dari segi penggunaan ejaan yang betul. Menurut Encik Abd Karim A Bakar, beliau memandang perkara ini sebagai aspek yang perlu diberi perhatian kerana boleh menimbulkan kekeliruan terhadap penggunaannya di peringkat negara jika tidak dibendung dari awal.\nSebagai karyawan DBP, masyarakat umum memandang kita dengan tinggi dan menjadikan kita sebagai agen bahasa Melayu. Justeru, kita mesti memiliki pengetahuan yang mantap dan tuntas mengenai penggunaan bahasa Melayu baku, bukan sahaja dari segi wacana bahkan juga penulisan.\nUsaha mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bermula daripada penggunaan bahasa Melayu yang betul pada semua aspek dan peringkat dalam kehidupan seharian. Ungkapan \u201cBiasakan yang betul dan betulkan yang biasa\u201d sering kali diucapkan oleh para karyawan DBP termasuklah para pendidik bahasa Melayu di setiap institusi pendidikan. Hal ini menunjukkan betapa beratnya tanggungjawab yang dipikul untuk memastikan penguatkuasaan bahasa Melayu yang menyeluruh di seluruh Malaysia. Namun begitu, usaha ini perlu dilakukan secara berterusan kerana terdapat banyak lagi masyarakat umum yang kurang tahu atau tidak peka terhadap penggunaan bahasa Melayu baku." "Perundingan Kunci Utama Pembentukan Kerajaan Campuran\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMalam yang panjang untuk Malaysia apabila keputusan penuh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hanya dimuktamadkan pada pukul 5.00 pagi tadi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Parlimen tergantung apabila tiada parti yang mampu menawan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.\nPengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, mengumumkan keputusan rasmi dengan Pakatan Harapan (PH) menguasai 82 kerusi, Perikatan Nasional (PN) sebanyak 73 kerusi, Barisan Nasional (BN) sebanyak 30 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) 22 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 6 kerusi, dan Lain-lain parti 6 kerusi.\nSeperti sudah dijangka oleh banyak pihak, PRU pada kali ini mencatatkan tiada parti yang mampu meraih majoriti untuk membentuk kerajaan. Kajian dan ramalan oleh tujuh badan penyelidikan, antaranya termasuklah Merdeka Centre, Ilham Centre, Emir Research, Invoke, dan Unit Perisikan Ekonomi yang ratanya-ratanya merumuskan bahawa tiada gabungan yang akan menguasai majoriti mudah (112 kerusi) adalah benar. \nPH memenangi kerusi terbanyak tetapi masih gagal membentuk kerajaan. Hal ini diikuti dengan PN dan BN. Tidak cukup dengan keputusan itu, prestasi BN yang merudum mengejutkan negara. Parti itu hanya memenangi 30 kerusi berbanding dengan 79 kerusi pada PRU-14. Malah beberapa kawasan yang dikatakan kubu kuat BN turut dirampas oleh parti lawan. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pula mengukuhkan kedudukannya apabila berjaya membolot bersih kesemua kerusi Parlimen di Kelantan dan di Terengganu.\n\u00a0\nPaling mengejutkan, PRU-15 turut menyaksikan Tun Dr. Mahathir Mohamad dari Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) tewas di Parlimen Langkawi. Selain Tun Mahathir, anak beliau, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut kecundang di Parlimen Jerlun. Tidak kurang mengejutkan apabila anak Presiden Parti Keadilan Rakyat, Nurul Izzah Anwar tumpas di Permatang Pauh. Nasib yang sama turut menimpa Khairy Jamaluddin di Parlimen Sg. Buloh, Tengku Razaleigh Hamzah di Parlimen Gua Musang, Dato\u2019 Seri Mohamed Azmin Ali di Parlimen Gombak, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Parlimen Putrajaya, Tian Chua di Parlimen Batu, dan Datuk Joniston Bangkuai di Parlimen Tuaran.\nHakikatnya, rakyat sudah membuat keputusan. Kini, sebuah kerajaan perlu dibentuk untuk memastikan sistem pemerintahan negara dapat berjalan dengan sempurna. Maka itu, kerajaan gabungan diperlukan untuk membentuk majoriti yang akan memerintah negara ini. \nPastinya, gabungan ini tidaklah mudah seperti yang disangkakan. Hal ini dikatakan demikian kerana kerajaan yang diperlukan mestilah dalam kalangan parti yang dapat membawa kestabilan dalam pemerintahan negara bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara terus terpelihara. \nMenurut Penganalisis Politik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis, keputusan PRU-15 membuktikan bahawa rakyat sudah berubah dalam membuat keputusan. Pada kali ini katanya, rakyat bersuara melalui naluri mereka yang mahu melihat perubahan yang menyeluruh.\n\u201cKita menyaksikan parti terbesar Melayu yang kalah hampir di keseluruhan negeri-negeri pengundi majoriti Melayu. UMNO tidak mampu menawan sebarang kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Melaka. Maka itu, tidak keterlaluan kita menyatakan bahawa ini PRU tsunami Melayu. Walau bagaimapaun, apa-apa yang disuarakan oleh rakyat itu wajar kita hormati. Cuma selepas ini yang terpenting dalam permainan politik angka dalam PRU ini ialah parti mana yang akan membentuk kerajaan. Saya berpandangan bahawa formula terbaik untuk membentuk kerajaan adalah dengan dokongan parti Melayu yang terbesar dan jika diperhatikan sudah tentulah PN yang menepati ciri ini. Dalam hal ini juga, keputusan PRU-15 secara jelas membuktikan bahawa PN mempunyai kelebihan dalam segala komponen untuk membentuk kabinet kerajaan yang baharu,\u201d ujarnya. \nSementara itu, Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Azizuddin Mohd Sani, menjelaskan bahawa keputusan PRU-15 merupakan senario yang harus diterima oleh semua pihak. \n\u201cSejak awal, kita sudah menjangkakan bahawa apabila banyak pertembungan parti berlaku, maka akan mengakibatkan undi pecah dan sudah tentu majoriti sukar dicapai untuk mana-mana parti. Kita sudah meramalkannya. Sememangnya akan berlaku Parlimen tergantung. Malah, di Pahang dan Perak juga masih belum ada majoriti yang dapat membentuk kerajaan negeri. Inilah hakikat yang perlu kita terima kerana rakyat mengundi pada kali ini berasaskan parti, walaupun pada awalnya kita menjangkakan banyak calon yang berpengaruh akan menang atau mengekalkan kerusi masing-masing, namun hal itu sebaliknya. PRU-15 telah membuktikan bahawa saingan tidak lagi bergantung pada kekuatan calon, tetapi berasaskan kekuatan parti yang bertanding. \nDalam gabungan kerajaan yang akan dibentuk ini, Profesor Dr. Azizuddin percaya bahawa perundingan menjadi kunci utama. Perundingan ini harus mengangkat kepentingan rakyat melebihi segala-galanya kerana apa-apa yang dimahukan oleh rakyat ialah kerajaan yang stabil dan mampu membawa negara ini keluar daripada kemelut politik dan ekonomi. \n\u201cPemimpin politik yang terlibat dalam penggabungan ini perlu mencari jalan yang terbaik untuk membentuk kesepakatan yang benar-benar stabil agar pilihan rakyat pada PRU-15 ini tidak disia-siakan seperti yang berlaku pada PRU-14 yang lalu,\u201d ujarnya." "YDPA Titahkan Nama Calon Perdana Menteri Diserahkan Sebelum 2.00 Petang Esok\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Istana Negara telah menerima keputusan rasmi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), yang berlangsung semalam (19 November 2022), daripada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) pada pukul 1.15 tengah hari, hari ini.\nDalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Istana Negara, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato\u2019 Seri Ahmad Fadil Shamsuddin menyatakan bahawa tiada parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu menerusi dokumen yang dikemukakan oleh Pengerusi SPR, YBhg. Tan Sri Abdul Ghani Salleh.\n\u201cSehubungan dengan itu, menjunjung titah perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta\u2019in Billah, Istana Negara telah meminta kerjasama Yang di-Pertua Dewan Rakyat YBhg. Tan Sri Azhar Azizan Harun memohon kepada ketua parti politik dan ketua gabungan parti politik yang mempunyai jumlah kerusi yang banyak untuk memaklumkan kepada pihak Istana Negara mengenai gabungan parti politik yang telah dipersetujui antara parti politik atau gabungan parti politik berkenaan bagi pembentukan kerajaan baharu pasca-PRU-15,\u201d jelas Dato\u2019 Seri Ahmad Fadil.\nKetua parti politik dan ketua gabungan parti politik tersebut akan diminta oleh YBhg. Tan Sri Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk memaklumkan mengenai gabungan parti politik yang telah dipersetujui masing-masing serta mengemukakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat berikutan gabungan parti politik tersebut untuk menjadi calon Perdana Menteri Malaysia kepada Istana Negara sebelum pukul 2.00 petang, pada hari Isnin, 21 November 2022.\nTambah Dato\u2019 Seri Ahmad Fadil, \u201cSelaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, dimaklumkan juga bahawa titah perkenan dan keputusan Seri Paduka Baginda berkenaan pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan Perdana Menteri menerusi proses yang telah dijelaskan adalah muktamad.\u201d\nDato\u2019 Seri Ahmad Fadil turut menyampaikan amanat Seri Paduka Baginda YDPA yang menasihati rakyat dan ketua parti politik agar akur dan menghormati proses demokrasi serta menerima keputusan PRU-15 dengan tenang serta berlapang dada demi menjaga keutuhan negara.\nDalam kenyataan tersebut juga, Dato\u2019 Seri Ahmad Fadil memaklumkan, \u201cSeri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa dan berintegriti untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan memacu agenda kesejahteraan negara.\u201d\nNegara ini umpama harta pusaka dan para pemimpin ialah pemegang amanahnya.\n\u201cSeri Paduka Baginda mengajak rakyat untuk bersama-sama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan dan kemakmuran negara.\u201c\n\u201cBaginda seterusnya turut mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,\u201d katanya.\nSumber foto: Facebook rasmi Istana Negara." "Raja Muda Perlis Mengalu-alukan Bakal Graduan UniMAP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Semua bakal graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang layak dan dijangka akan kembali ke Perlis bersama-sama ahli keluarga tersayang masing-masing dialu-alukan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail untuk menghadiri Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis kali ke-16 pada 21 hingga 24 November 2022 dengan seramai 3066 orang graduan dan pada 26 hingga 29 November 2022 pula bagi Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis kali ke-17 dengan jumlah sebanyak 3158 orang graduan.\nDemikian titah baginda sewaktu dalam program kayuhan berbasikal \u201cMAIPs Peduli\u201d bersempena program penyampaian agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang merangkumi RM700\u00a0secara tunai, beras serta bekalan makanan mentah kepada dua asnaf terpilih yang menetap di Kampung Binjal Utan Aji. Penerima-penerima berkenaan adalah Kasma Hassan (62 tahun) dan Nah Ahmad yang berusia 80 tahun.\nPada masa yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menitahkan ucapan tahniah kepada para bakal graduan kerana berjaya menamatkan pengajian di samping akan diberi penghormatan untuk menaiki pentas di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra bagi menerima skrol tamat pengajian masing-masing sama ada daripada baginda sendiri bagi sidang pagi atau daripada Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor bagi sidang petang.\nSelain itu, baginda juga menitipkan ucapan syabas dan tahniah kepada para ibu bapa, waris, penjaga dan keluarga tersayang bakal graduan UniMAP kerana telah memberikan sepenuh sokongan, dorongan dan perhatian dalam memastikan kejayaan mereka.\nDalam majlis yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berterima kasih kepada pengerusi, ahli lembaga pengarah, seluruh warga universiti serta semua pihak yang menjayakan kedua-dua istiadat konvokesyen pada kali ini.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Canselor UniMAP bersama-sama DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor UniMAP turut mendoakan semoga Allah SWT sentiasa memberkati majlis istiadat konvokesyen yang bakal berlangsung dan melindungi perjalanan datang dan pulang para tetamu, ibu bapa, waris, penjaga dan semua graduan UniMAP yang hadir." "Tan Sri Muhyiddin Yassin Perdana Menteri ke-10?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPagoh \u2013 Rata-rata penduduk di Pagoh berasa teruja sekiranya Ahli Parlimen mereka, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10. Menurut Salbiah Hussin, 57 tahun, yang ditemui di Pasar Awam Pagoh, apabila ada desas-desus bahawa Tan Sri Muhyiddin bakal menjadi Perdana Menteri ke-10, dia dan seluruh ahli keluarganya berasa gembira sekiranya hal itu benar-benar terjadi.\n\u201cTan Sri seorang pemimpin berjiwa rakyat, jika beliau menjadi Perdana Menteri, sudah tentu sebagai warga Pagoh, ini merupakan kebangaan untuk kami di sini,\u201d ujarnya. \nSementara itu, pengundi muda, Ashraf Mohamad Ilham, 21 tahun, turut menyatakan kegembiraannya dengan menyatakan bahawa Pagoh pasti berbangga kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi menjadi Perdana Menteri. \n\u201cDia sememangnya mesra rakyat. \u2018Abah\u2019 ok, di mata anak muda, saya ok sahaja jika dia sekali lagi menjadi Perdana Menteri,\u201d ujar Ashraf yang merupakan pelajar Kolej Komuniti Pagoh. \nBagi seorang peniaga gerai di Kampung Raja Pagoh, Ismail Abdul Sani, 44 tahun, beliau berpandangan bahawa Tan Sri Muhyiddin sudah teruji mengemudi negara ini, maka jika sekali lagi Istana Negara memperkenan cadangan untuk menjadikannya Perdana Menteri, sudah tentu Tan Sri Muhyiddin akan menggunakan pengalaman lepas untuk mentadbir negara dengan lebih baik. \n\u201cSebagai warga Pagoh, sudah tentu saya berbangga. Saya juga yakin bahawa beliau mampu menangani cabaran membentuk kerajaan baharu ini dengan menggunakan pengalaman lepas beliau sebagai Menteri Besar, Menteri Kabinet dan Perdana Menteri,\u201d terangnya kepada Dewan Masyarakat. \nBerbaki kurang daripada empat jam sahaja lagi, ketua parti politik dan gabungan parti diminta untuk memaklumkan mengenai gabungan parti politik yang telah dipersetujui masing-masing serta mengemukakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat berikutan gabungan parti politik tersebut untuk menjadi calon Perdana Menteri Malaysia kepada Istana Negara\nHal ini dinyatakan Istana Negara menerusi kenyataan media yang memohon agar ketua parti politik dan ketua gabungan parti politik yang mempunyai jumlah kerusi yang banyak untuk memaklumkan kepada pihak Istana Negara mengenai gabungan parti politik yang telah dipersetujui antara parti politik atau gabungan parti politik berkenaan bagi pembentukan kerajaan baharu pasca-PRU-15. \nSekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin diangkat sebagai Perdana Menteri, maka Pilihan Raya Umum Ke-15 sekali lagi mencipta sejarah dengan menyaksikan beliau dua kali memimpin negara ini. Walau apa jua keputusannya, perkara tersebut akan dimuktamadkan berlandaskan undang-undang dan kebijaksnaan Yang di-Pertuan Agong." "Teka-teki Penubuhan Kerajaan Persekutuan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nRamalan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menghasilkan Parlimen tergantung benar-benar menjadi kenyataan. Tidak ada gabungan politik yang menawarkan diri untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan dalam PRU tersebut yang memperoleh 112 kerusi yang diperlukan untuk berkuasa di Putrajaya. Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR), Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi; Perikatan Nasional, 73 kerusi; Barisan Nasional (BN), 30 kerusi; Gabungan Politik Sarawak (GPS), 22 kerusi; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 6 kerusi; dan lain-lain parti 6 kerusi.\nSekiranya calon Perikatan Nasional (PN) di Sabah yang bertanding menggunakan logo GRS diambil kira, maka PN mempunyai 79 kerusi di Dewan Rakyat, iaitu kekuatan yang hampir seimbang dengan PH yang memiliki 82 kerusi. \nOleh sebab Malaysia mengamalkan demokrasi bermodelkan ala-Westminster, yang kita warisi sewaktu negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, maka Parlimen Tergantung di Malaysia selepas PRU-15 pada 19 November 2022 adalah sama keadaannya dengan peristiwa yang berlaku dalam House of Common di United Kingdom selepas pilihan raya umum pada 28 Februari 1974, 2010 dan 2017.\nDalam kes pada tahun 1974 seperti yang dicatatkan oleh Wikipidea, Parti Buruh pimpinan Harold Wilson mendapat 301 kerusi tetapi kekurangan 17 kerusi untuk membentuk kerajaan. Parti Konservatif pimpinan Edward Heath juga tidak mempunyai kerusi yang mencukupi untuk menubuhkan kerajaan secara sendirian. Parti Konservatif yang mempunyai kerusi lebih sedikit kerusi berbanding dengan Parti Buruh berunding untuk membentuk kerajaan campuran dengan Parti Liberal, tetapi gagal mencapai kata sepakat.\nPada akhirnya, Parti Buruh diundang oleh Ratu England untuk menubuhkan apa-apa yang dikenali sebagai kerajaan minoriti dalam House of Common. Oleh sebab kerajaan tidak stabil, Parti Buruh membuat keputusan untuk mengadakan PRU pada bulan Oktober 1974 yang memberikan kemenangan kepada Parti Buruh untuk berkuasa.\nPada tahun 2010, berikutan Parlimen Tergantung, Parti Konservatif di bawah pimpinan David Cameron telah menubuhkan kerajaan campuran dengan Parti Liberal pimpinan Nick Clegg.\nPada tahun 2017, Parti Konservatif pimpinan Teressa May tidak menubuhkan kerajaan campuran dengan mana-mana parti politik yang kecil, tetapi menubuhkan kerajaan minoriti yang disokong oleh Democratic Unionist Parti (UDP) dari Ireland Utara yang mempunyai 10 kerusi dalam House of Commons. Hal ini dilakukan menerusi confidence and supply arrangment (CSA) antara kerajaan Parti Konservatif dengan UDP yang telah memberikan kestabilan kepada kerajaan Konservatif untuk memerintah.\nDalam konteks Parlimen Tergantung di Malaysia pasca-PRU 15, mekanisme yang sama juga boleh diguna pakai untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan yang baharu, iaitu sama ada berbentuk kerajaan campuran atau gabungan parti politik yang mempunyai kerusi terbanyak di Dewan Rakyat menandatangani CSA dengan parti-parti politik yang lain.\nSecara lebih spesifik, PH dan PN+GRS kerana masing-masing mempunyai kerusi yang hampir seimbang, parti tersebut boleh mengusahakan sebuah kerajaan campuran dengan parti-parti lain yang turut memenangi kerusi. Perlumbaan ke arah itu sudahpun bermula. Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara, sebaik-baik sahaja dimaklumkan oleh SPR mengenai hasil PRU-15, baginda telah meminta Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan mempersembahkan kepada baginda calon yang disokong oleh parti-parti politik yang menang dalam PRU-15 untuk diberi kepercayaan sebagai Perdana Menteri sebelum pukul 2.00 petang ini.\nDari segi teori, PH boleh membentuk kerajaan campuran itu dengan BN dan GPS, membolehkan gabungan menguasai 133 kerusi di Dewan Rakyat. Sekiranya yang membentuk kerajaan campuran Persekutuan itu adalah PN+GRS+BN+GPS, maka kerajaan campuran PN dan lain-lain itu mempunyai 131 kerusi di Dewan Rakyat.\nKedua-dua kerajaan campuran itu akan membawa kestabilan kepada Malaysia untuk tempoh lima tahun Parlimen ke-15. Tidak perlu ada PRU-16. Walau bagaimanapun, oleh sebab persamaan ideologi, adalah lebih mudah untuk PN menubuhkan kerajaan campuran dengan GPS dan BN. Malah Bendahari Agung BN, Datuk Hishamuddin Hussein Onn, sebaik-baik sahaja diumumkan menang di kerusi Parlimen Semberong sudahpun menegaskan bahawa BN tidak akan bekerjasama dengan PH untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan yang baharu.\nSentimen yang sama juga terdapat dalam kalangan para pemimpin BN yang lain.\nPN juga sudah menegaskan bahawa gabungan parti-parti politik yang diterajui oleh Bersatu, PAS dan Gerakan itu juga tidak sudi untuk membentuk kerajaan dengan PH kerana di dalamnya terdapat DAP yang memperjuangkan gagasan Malaysian Malaysia. Perjuangan dan kepentingan PN, BN dan GPS dilihat tidak selari dengan gagasan tersebut sehingga kini.\nLantaran itu, PN+GRS, BN dan GPS berkemungkinan besar akan menubuhkan kerajaan campuran pada peringkat Persekutuan selepas PRU-15 ini. Dalam kalangan mereka terdapat keserasian yang lebih baik dari segi ideologi dan kepentingan dalam menjaga kepentingan Melayu/Bumiputera, agama Islam tanpa menyisihkan kepentingan kaum lain di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.`\nTan Sri Muhyiddin sudahpun mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Pengerusi GPS, yang juga Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg di rumah beliau di Bukit Damansara, Kuala Lumpur mengenai kemungkinan penubuhan kerajaan campuran pada pagi 20 November 2022.\nJika itu halnya, maka PH pula berkemungkinan kekal sebagai blok pembangkang di Dewan Rakyat. Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim pula kekal sebagai ketuanya, tetapi memainkan peranan yang bertanggungjawab untuk memeriksa dan menyemak tindak-tanduk cabang eksekutif negara. Cuma mungkin beliau harus menunggu lima tahun lagi untuk menjadi Perdana Menteri. Begitupun, seperti yang selalu dinyatakan dalam politik, apa-apa sahaja boleh berlaku. Bukankah politik selalu digambarkan sebagai seni yang memungkinkan yang tidak mungkin?\nArtikel ini pertama kali diterbitkan dalam voamedia.home.blog\u00c2" "PRU-15 dan Tsunami Melayu 2.0\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPesta demokrasi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) usai berlalu. Namun begitu, pementasan teaternya masih lagi berlangsung. Setelah hampir beberapa jam keputusan diumumkan, Parlimen kembali tergantung. Matlamat PRU-15 yang dicanangkan sebagai misi untuk mencari kestabilan tersasar dari landasannya.\nSetakat artikel ini ditulis, proses rundingan sedang rancak berlangsung. Seyogia diingatkan bahawa politik ialah seni untuk mendapatkan kuasa. Adakalanya, juga dinyatakan sebagai seni yang memungkinkan perkara yang tidak mungkin. Tiada musuh yang tetap dalam politik kerana yang tetap ialah kepentingan untuk mendapatkan kuasa. Kisahnya pada hari ini, gabungan yang bakal membentuk kerajaan ditentukan oleh elit melalui kuasa negosiasi, lobian, naungan dan mekanisme penawaran. Daripada pilihan rakyat, kepada pilihan elit. Begitulah seni kekuasaan.\nPRU-15 merupakan sebuah pilihan raya yang menarik, rumit dan dinamik. Kejutan demi kejutan berlaku dan sebahagiannya memuaskan hati dan sebahagiannya pula agak mendukacitakan. PRU-15 menyingkirkan muka lama dan sosok berpengaruh. Antaranya termasuklah Tun Dr. Mahathir Mohammad (GTA-Langkawi), Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang), Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh), Dato\u2019 Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Gombak) dan Khairy Jamaluddin (BN-Sungai Buloh). Meskipun PH mendominasi pungutan kerusi, namun yang lebih mencuri perhatian ialah kebangkitan PN dalam PRU edisi ini. Apakah faktor yang mendominasinya?\nSatu yang jelas, PRU-15 masih berada dalam angkubah politik identiti. Keadaan ini menggambarkan wujudnya Tsunami Melayu 2.0 yang berperanan menjadi titik peralihan dengan menjadikan gabungan Perikatan Nasional (PN) sebagai alternatif. Fenomena politik Melayu yang berlaku dalam PRU-15 ini boleh dikategorikan sebagai sebuah refleksi pencarian alternatif, yakni pencarian \u201cpelindung\u201d baharu dalam memelihara politik identiti Melayu-Islam.\nPrestasi hambar UMNO-BN menunjukkan parti ini gagal mendapat tempat dalam kalangan orang Melayu. Sifirnya begitu mudah dibaca. Peluang yang diberikan kepada BN untuk menjaga politik Melayu sejak sekian lama dilihat semakin lemah terutamanya sebelum PRU-14. Lambakan skandal politik dan isu rasuah yang disulami faktor sokongan seperti kelemahan dalam ekonomi \u201cbread and butter\u201c\u00a0menyebabkan orang Melayu hilang keserasian dengan parti Melayu tersebut.\nEkoran rantaian peristiwa daripada PRU-14, dalam PRU-15, BN masih lagi gagal membina imej bersihnya memandangkan parti tersebut masih diketuai oleh jeneral yang terpalit dengan kes rasuah di mahkamah. Kerangka ini bukan sahaja merangkumi isu rasuah sebagai pemboleh ubah, namun turut didasari oleh tahap populariti presidennya yang semakin merudum. Keadaan ini juga didorong oleh personaliti dan tingkah lakunya yang masih terperangkap dalam dimensi lama UMNO/BN seperti sebelum PRU-14 yang kurang disenangi oleh majoriti rakyat.\nOleh itu, PRU-15 ini gagal membawa kesegaran imej kepada UMNO/BN dalam memulihkan reputasinya. Sebagaimana faktor Najib dalam menatijahkan kekalahan UMNO-BN dalam PRU-14, keadaan ini juga menggambarkan sisi pandang yang sama. UMNO sepertinya gagal belajar daripada sejarah untuk memulihkan reputasi parti dengan menukar pucuk pimpinan sebelum berlangsung pilihan raya.\nSejarah membuktikan transisi kepimpinan UMNO-BN berjaya membaiki prestasinya dalam PRU. Misalnya, transisi kepimpinan daripada Tun Dr. Mahathir kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2003 memberikan kemenangan besar kepada UMNO-BN dalam PRU-11 (2004) setelah melalui fasa yang sukar dalam PRU-10 (1999). Keadaan serupa turut berlaku apabila berlakunya transisi kepimpinan daripada Datuk Seri Abdullah kepada Dato\u2019 Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada tahun 2009. Natijahnya, Dato\u2019 Sri Najib pada ketika itu berhasil membaiki prestasi politik Melayu UMNO dalam PRU-13 (2013) setelah mengalami kemerosotan teruk dalam PRU-12 (2008). Ketiadaan kesegaran imej dan kepimpinan menjelaskan faktor orang Melayu mencari \u201cpelindung\u201d alternatif yang lebih diyakini dalam PRU-15.\nManakala, Pakatan Harapan (PH) pula dilihat sebagai gabungan yang disifatkan \u201cberbahaya\u201d oleh sebahagian orang Melayu disebabkan keberadaan DAP dalam parti tersebut. Dilema ketakutan ke atas DAP sebahagian besarnya turut disokong oleh kelemahan PH dalam menguruskan isu-isu Melayu-Islam pasca-PRU-14. Keadaan ini memunculkan titik trauma dalam pemikiran sebahagian orang Melayu untuk lebih berhati-hati dengan memilih parti ini. Malah, elemen jasa dan budi juga gagal dimunculkan PH semasa berkuasa yang merupakan teras penting dalam politik Melayu.\nKonteks ini akhirnya memunculkan PN sebagai alternatif yang lebih diyakini pembawaan nilai Melayu-Islamnya berbanding dengan BN dan PH yang gagal\u00a0 dalam proses uji cuba sebelumnya. PN yang menonjolkan PAS melalui pembawaan imej agamanya turut menjadi perkiraan penting dalam mengkonstruksikan kepercayaan orang Melayu untuk memilihnya.\nPakej dua dalam satu gabungan ini melalui jajaran Melayu-Islam menjadikan orang Melayu berasa lebih selamat untuk bernaung di bawahnya. Sentimen ini turut disokong oleh faktor islamisasi luar biasa dalam kitaran ekologi orang Melayu sejak kebelakangan ini yang menjadikan pembawaan imej agama sebagai kriteria utama dalam memilih.\nTanggapan masyarakat tentang keselarian antara nilai Islam dengan imej bersih PAS yang menjadi bualan masyarakat menjadi aset besar dalam hubungan ini. Hal ini termasuklah nilai keislaman yang dipamerkan \u201cposter boy\u201c\u00a0PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui keupayaan beliau menonjolkan kerektor Islam itu sendiri.\nSentimen masyarakat dalam melihat PN sebagai alternatif terbaik turut berbalik ketika negara dalam keadaan krisis. Satu yang jelas, wabak COVID-19 yang melanda negara membuka ruang kepada Tan Sri Muhyiddin untuk mempamerkan ketokohan. Imej Tan Sri Muhyiddin yang kerap terpancar di media konvensional dan baharu menjadi nilai pemasaran unik untuk jarak tempuh politiknya. Pada waktu yang sama, ruang untuk mewujudkan unsur jasa dan budi terbentang luas melalui peruntukan dana bantuan rakyat.\nSehingga ke hari ini, bantuan-bantuan yang disalurkan kekal menjadi bualan masyarakat yang membantu menonjolkan imej \u201ckepedulian Perdana Menteri\u201d terhadap nasib rakyat dan turut menghidupkan kerangka jasa dan budi. Konteks ini turut sama memauti sebahagian besar pengundi FELDA, terutamanya melalui pelupusan hutang peneroka yang menjadi perkiraan penting menjadikan PN sebagai alternatif orang Melayu FELDA.\nSisi lainnya, boleh dikatakan gelombang pengundi muda turut menjadi penentu dalam menatijahkan keputusan ini. Meskipun belum wujud sokongan data yang mendasarinya, namun melalui kajian lapangan yang dilakukan, populariti PN dalam kalangan anak muda disifatkan begitu tinggi pada PRU-15 ini.\nFaktor media sosial generasi Z seperti TikTok juga sebahagiannya menjadi pengaruh penting. Kandungan menarik daripada ceramah politik yang mengaitkan syurga dan neraka dengan lokus pengundian setidak-tidaknya berupaya menjadi pengaruh utama dalam menyentak tingkah laku pengundian sebahagian pengundi muda.\nKempen melalui TikTok juga berupaya menonjolkan politik imej atau menampakkan karektor murni melalui video-video pendek spontan seperti individu sedang berdoa, individu sedang melayani isteri secara baik dan seumpamanya. Falasi relevan ini memungkinkan pemilih untuk menilai individu melalui faktor luaran, berbanding dengan secara kritikal dan mendasar.\nSelain itu, andaian asas dalam menjelaskan fenomena keserasian pengundi muda dengan PN turut berkait rapat dengan kejuruteraan sosial (social engineering) yang dikonstruk oleh PAS melalui pendidikan. Institusi pendidikan agama kelolaan PAS termasuklah institusi agama alternatif swasta mahupun kerajaan menjadi faktor pengikat kepada keserasian terhadap pembawaan politik PAS.\nSecara rangkuman, PRU-15 menggambarkan \u201ctsunami hijau\u201d atau tsunami Melayu 2.0, iaitu siri tsunami terkini dalam merungkaikan fenomena dalam politik Malaysia. PRU-15 juga merupakan sebuah perkiraan mencari \u201cpelindung\u201d Melayu-Islam yang lebih diyakini untuk mengekalkan status quo. Setelah kegagalan UMNO/BN dan PH, maka pilihan alternatif pengundi terarah kepada PN. Keadaan ini juga menjelaskan kedinamikan politik Melayu yang mula bersifat rencam melalui kepelbagaian pilihan alternatif.\nPenulis, Pensyarah di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan berkelulusan Sarjana Sains Politik." "Perpaduan Perlu Diwujudkan dalam Sektor Pekerjaan \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pagi tadi berkenan berangkat menganugerahkan ijazah kepada 380 orang graduan pada Sidang Kelima Istiadat Konvokesyen 16, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang diadakan di Dewan Ilmu, Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra, Perlis.\nGraduan-graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekatronik, Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Kuasa Industri) dan Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Teknologi Robotik dan Automasi) menerima ijazah masing-masing daripada baginda selaku Tuanku Canselor. Turut disampaikan ijazah adalah kepada waris graduan mendiang Vimalraj a/l Moghan yang telah meninggal dunia.\nTuanku Raja Muda dalam titah baginda menasihatkan supaya para graduan cuba mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan di tempat kerja dengan sentiasa memandang berat akan perpaduan antara pekerja dengan pekerja; dan pekerja dengan majikan. Hal ini disebabkan perpaduan harus sentiasa wujud dalam sektor pekerjaan." "Kerjasama Pragmatik dalam Pendidikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSatu\u00a0kerjasama yang pragmatik terhasil dengan adanya persefahaman dan keserasian dalam menzahirkan keputusan yang akan dilaksanakan. Hal ini\u00a0diperkukuh dengan semangat kebersamaan untuk keberhasilan yang membawa manfaat bersama. Dalam situasi pascapandemik di Malaysia ketika ini, keperluan untuk seiring senada dalam membina kerjasama yang pragmatik khasnya yang melibatkan negara-negara luar khasnya dengan China memfokuskan penyediaan modal insan yang diperlukan. Penyediaan modal insan yang kalis keadaan VUCA,\u00a0iaitu kemeruapan (volatility), ketidakpastian (uncertainty), kerumitan (complexity) dan ambiguity (kekaburan). Satu\u00a0daripada\u00a0contoh yang paling asas adalah dalam membina modal insan yang ke\u00a0hadapan dan berdaya tahan.\nChina, sebuah negara yang berpopulasi 1.4 bilion orang dan 34 kawasan pentadbiran yang berbeza serta mempunyai lebih daripada 2500 buah Institusi pendidikan tinggi yang cukup luas untuk membina rangkaian kerjasama pendidikan antara Malaysia dengan China. Faktor penyumbang kepada kepesatan kerjasama pendidikan Malaysia\uff0dChina juga bertitik tolak pada tahun 2013 apabila Presiden Xi Jin Ping memperkenalkan inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiative\uff0dBRI).\nInisiatif ini yang merupakan wawasan besar pihak China untuk membina rangkaian kerjasama luar yang telah bermula pada zaman lampau ketika usaha pelaburan ekonomi China melalui laluan sutera telah bermula pada abad ke-2 Sebelum Masihi hingga abad-15 Masihi. Dengan inisiatif China untuk mempromosikan\u00a0keterbukaan, inklusif dan saling hormat-menghormati memberikan\u00a0peluang untuk kedua-dua negara menyediakan persekitaran global yang lebih inklusif dan teguh.\u00a0Hal\u00a0ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dipersetujui oleh semua pihak.\nDalam senario semasa, melihat kepada kerjasama pendidikan antara Malaysia dengan China, dokumen kerjasama pendidikan tinggi antara kedua-dua buah negara boleh dilihat pada dokumen perjanjian persefahaman antara Malaysia dengan China pada tahun 2009. Dokumen perjanjian ini telah menjadi titik tolak awal untuk terus memperkukuh kerjasama pendidikan antara Malaysia dengan China.\nKemudian, pada tahun 2011, perjanjian dokumen \u201cFramework Agreement To Facilitate Mutual Recognition in Academic Higher Education Qualifications\u201c Between The Government of Malaysia and The Government of The People\u2019s Republic of China\u201d. Pengalaman penulis bertugas di China juga memberikan\u00a0peluang untuk bersama-sama rakan strategik tempatan untuk mewujudkan kerjasama dua hala dengan menyediakan platform kerjasama.\u00a0Antaranya\u00a0termasuklah\u00a0Sidang Dialog Pendidikan Tinggi Malaysia\uff0dChina(Yunnan), Forum Pendidikan Tinggi Malaysia\uff0dChina\u00a0(Guizhou)\u00a0dan\u00a0Forum TVET Malaysia\uff0dChina. Platform yang terhasil ini telah membuka ruang kerjasama yang pesat antara kedua-dua buah negara. Program yang telah mendapat pengiktirafan dan komitmen kerajaan dan agensi tempatan ini menjadikannya satu program tahunan yang dilaksanakan secara pragmatik.\nBagi menzahirkan yang sebenar-benarnya seiring senada dalam merencanakan kerjasama pendidikan yang pragmatik boleh dirungkaikan dalam beberapa aspek. Yang pertama\u00a0ialah\u00a0memahami situasi semasa politik dan ekosistem negara yang menjurus kepada hubungan bilateral kedua-dua buah negara. Malaysia terletak tepat di atas garisan Khatulistiwa, betul-betul di tengah-tengah Asia Tenggara. Terletak secara strategik di antara Lautan Hindi dengan\u00a0Laut China Selatan, Malaysia menawarkan perkhidmatan yang baik di semua saluran udara dan perkapalan utama. Hal ini ditambah pula dengan asas ekonomi negara yang mampan dan kukuh, persekitaran sedia perniagaan yang komprehensif, tumpuan ke hadapan dan tenaga kerja mahir yang dinamik telah menjadikan Malaysia lokasi yang strategik di rantau ini dan pantas menjadi pusat pilihan untuk mendorong kerjasama lanjut.\nPada tahun ini ialah ulang tahun yang ke-48 hubungan diplomatik antara Malaysia\uff0dChina. Hubungan ini terus kukuh dengan adanya kerjasama yang pragmatik yang merentas aspek politik, pelaburan, ekonomi, pelancongan, pertanian, pendidikan bahasa dan budaya. Keserasian yang ada ini perlu ditingkatkan dengan kesungguhan dan komitmen kedua-dua belah pihak untuk terus menawarkan kerjasama pragmatik yang berkonsepkan perkongsian untuk manfaat bersama. Faktor-faktor pemangkin seperti perdagangan dan pelaburan perlu diseimbangkan dengan keberhasilan tenaga pakar dan kemenjadian modal insan kedua-dua buah negara agar kelestarian kerjasama yang lebih berpanjangan.\nYang kedua\u00a0ialah\u00a0menggalakkan usaha mencungkil bakat yang menerokai pelbagai bidang baharu khasnya dalam sains dan teknologi bagi mengetengahkan peluang kerjasama yang lebih bagi memberikan\u00a0manfaat kepada kedua-dua belah pihak. Keupayaan dan gabungan kepakaran sudah pasti akan membawa satu pendekatan yang pragmatik dalam merencanakan agenda pembaharuan masa hadapan. Malaysia, sebagai sebuah negara membangun tidak ketinggalan dalam aspek ini. Hal ini berdasarkan\u00a0rekod pencapaian yang memberangsangkan\u00a0yang melibatkan pencapaian prestasi pelajar dan institusi pendidikan di Malaysia.\nBelanjawan 2023 yang bertemakan Keluarga Malaysia Makmur Bersama telah dibentangkan pada 7 Oktober yang lalu. Belanjawan 2023 ini memfokuskan agenda 3R, iaitu Responsif, Bertanggungjawab dan Reformis. Daripada RM372.3 \u00a0billion \u00a0yang diperuntukkan, RM15.1 billion telah disediakan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengurus dan membangunkan sektor pengajian tinggi negara Malaysia. Bagi merancakkan landskap pembangunan dan penyelidikan (R&D), kerajaan Malaysia telah memperuntukkan berjuta-juta ringgit untuk tujuan tersebut. Kementerian Pengajian dan Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi telah diberi akses kepada dana yang bernilai RM364 juta. Justeru, peluang dan ruang kerjasama terbentang luas kepada semua pihak untuk seiring senada dalam membawa kebaikan bersama.\nFaktor yang ketiga\u00a0pula ialah\u00a0meningkatkan ruang dan peluang kerjasama pendidikan yang pragmatik yang menfokuskan pembangunan sistem pendidikan yang berkualiti tinggi bagi\u00a0kedua-dua buah negara. Hal ini\u00a0juga boleh didasari dengan kerjasama dan hubungan luar khasnya dengan negara-negara ASEAN. Dalam hal ini, dapat dilihat melalui\u00a0senario komitmen negara ASEAN ketika ini, iaitu\u00a0berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 dan sidang kemuncak berkaitan yang telah berlangsung di Phnom Penh, Kemboja, pada 10-13 November 2022 yang lepas.\nMalaysia telah menzahirkan komitmen yang teguh terhadap ASEAN, termasuklah\u00a0dalam mengetengahkan kepusatan dan kesatuan ASEAN, usaha-usaha pembangunan komuniti serta penglibatan dan kerjasama berterusan dengan Rakan-rakan Dialog ASEAN serta pihak luar, tatkala menghadapi dinamik serantau yang semakin mencabar dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat di peringkat global. Malaysia juga mengulangi pendiriannya mengenai situasi di Myanmar dan akan menyeru supaya ASEAN mengambil pendirian yang lebih tegas berhubung\u00a0dengan\u00a0isu ini dalam perbincangan semasa Sidang-sidang Kemuncak ASEAN.\nDengan semangat seiring senada ini, sudah pasti kekerapan program pertukaran pelajar dan guru dari negara Malaysia, negara\u00a0ASEAN dan China serta negara lain dapat dilaksanakan. Melihat kepada keperluan semasa, sudah pastinya aspek kerjasama pendidikan diberi\u00a0penekanan terhadap teknikal vokasional dan latihan (TVET). Sebanyak RM6.7 billion dalam bajet 2023 disediakan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dan memperkasakan\u00a0TVET. Kerajaan mensasarkan sekurang-kurangnya 55\u00a0peratus\u00a0lepasan SPM melanjutkan pengajian dalam bidang TVET menjelang 2025.\nPemerkasaan inisiatif dan pengisian dalam projek Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan Projek Taman Industri Berkembar Taman Industri Qinzhou China\uff0dMalaysia (CMQIP) juga perlu dilihat sebagai platform terbaik dalam membina modal insan yang berimpak tinggi. ECRL juga dijangka akan memacukan aktiviti komersial, menarik pelaburan, meningkatkan peluang pekerjaan dan merangsang aktiviti pelancongan di sepanjang rangkaian relnya.\nPenubuhan UTHM-Ningbo TVET Center yang bertempat di\u00a0Universiti tun Hussein Onn Malaysia dan Ningbo Polytechnic merupakan yang pertama di rantau Asia bakal menjadi pintu masuk kepada institusi lain dari kedua-dua buah negara khususnya dalam bidang TVET untuk menjalinkan kerjasama pada masa akan datang. Selain itu, pusat TVET ini juga dilihat berpotensi untuk menjadi institusi TVET di Malaysia untuk menarik pelajar antarabangsa khususnya dari China. Dengan adanya kerjasama yang bersandarkan teknikal ini,\u00a0ruang dan peluang yang cukup besar wujud untuk semua pihak khasnya Malaysia dan China dalam membina rangkaian kerjasama TVET yang menggabungkan kepakaran TVET antara institusi Malaysia dan China.\nFaktor yang keempat\u00a0ialah\u00a0melihat kepentingan bahasa dan budaya dalam merencanakan kerjasama pragmatik\u00a0yang\u00a0juga merupakan faktor yang penting. Ketika ini, faktor bahasa dan budaya menyumbang kepada sejauh mana tahap cultural intelligence\u00a0dan public diplomacy sesebuah negara dalam memperkukuh hubungan negara. Pengayaan bahasa dan budaya Malaysia\uff0dChina akan membawa satu pendekatan yang sering senada dengan erti kata\u00a0lain ialah\u00a0lebih mengenali hati budi masing-masing. Kita juga dapat melihat kesungguhan pihak China secara diplomasinya menekankan hubungan dengan negara luar melalui perkembangan bahasa Melayu. Kerjasama Malaysia\uff0dChina telah direalisasikan dengan penubuhan Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU).\nSelain itu, kepesatan Pengajian Melayu juga dapat dilihat dengan adanya 13 buah Institusi Pengajian Tinggi di China yang telah menawarkan Pengajian Melayu di institusi mereka. Pertukaran bahasa dan budaya dapat dilihat dan dikukuhkan dengan adanya peluang dan ruang diberikan seperti ini. Malaysia juga menyokong penuh usaha Institusi Pengajian China dengan kerjasama Institusi\u00a0Pendidikan Tinggi di Malaysia yang mewujudkan Institusi Konfusius di Malaysia. Jalinan bahasa budaya ini perlu digarap secara holistik dengan gabungan kerjasama institusi atau agensi yang berperanan penting di Malaysia seperti\u00a0Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka\u00a0dan\u00a0Institut Terjemahan Negara bersama-sama pihak berkepentingan di China. Semoga\u00a0dengan adanya platform ini akan berlakunya jalinan bahasa dan budaya akhirnya dapat memperkukuh hubungan Malaysia\uff0dChina dan mewujudkan semangat persefahaman dan persahabatan yang tinggi bagi melakukan perkara yang memberikan\u00a0manfaat bersama.\nYang terakhirnya, iaitu faktor kelima ialah\u00a0memperkukuh\u00a0pembinaan modal insan untuk penyatuan kedua-dua buah negara. Belia pewaris masa hadapan,\u00a0belia merupakan tunjang pembangunan sesebuah negara dan mereka perlu mempunyai daya saing serta\u00a0semangat cinta\u00a0akan negara yang tinggi agar generasi akan datang dapat hidup dalam harmoni. Agenda dan penekanan kepada libat urus dalam kalangan belia Malaysia\uff0dChina perlu dititikberatkan. Menyokong penuh mobiliti belia Malaysia\uff0dChina untuk mengenali bahasa, budaya dan adat resam tempatan menjadikan mereka penggerak utama ke arah kelestarian hubungan organik yang terbina.\nAntara caranya adalah dengan berperanan sebagai duta kecil, iaitu menceritakan pencapaian terbaik kedua-dua buah negara dalam membawa kebaikan bersama, menggalakkan mereka untuk terus membuka ruang dan peluang persefahaman yang lebih luar dan terbuka dalam membina peradaban yang lebih baik. Mengikut rekod, ketika ini,\u00a0lebih kurang 30 ribu pelajar China mengikuti pengajian di Malaysia manakala 10 ribu pelajar Malaysia pula mengikuti pengajian di China. Angka-angka ini bersifat dinamik yang memperlihatkan kesungguhan semua pihak melahirkan modal insan bertahap global. Dengan ekosistem pendidikan tinggi yang baik di kedua-dua buah negara sudah pasti membuka peluang dan ruang yang cukup luas untuk duta-duta kecil ini merebut peluang yang ada.\nSemoga konsep kerjasama model Quadruple Helix menjadi tunjang kerjasama yang seiring senada bagi Malaysia\uff0dChina. Kerajaan, industri, komuniti dan institusi pendidikan Malaysia\uff0dChina perlu duduk semeja untuk menterjemahkan kebaikan bersama. Keterbukaan polisi kerajaan yang mapan dan digerakkan secara proaktif oleh industri berkaitan akan memacu kemenjadian yang diharapkan. \u00a0Hal ini dapat diterjemahkan dengan peluang dan tawaran daripada industri China di Malaysia yang bersedia menawarkan peluang kerjaya kepada \u00a0modal insan bertahap global yang telah dihasilkan bersama bagi memacu kegemilangan. Garapan nilai-nilai kefahaman bahasa, budaya dan adat serta ikatan sejarah menjadikan pembangunan modal insan yang lebih berdaya tahan dan ke\u00a0hadapan khasnya bertindak sebagai pewaris hubungan organik Malaysia\uff0dChina.\nKita bakal meniti ulang tahun ke-10 penubuhan perkongsian strategik komprehensif antara Malaysia dengan\u00a0China pada tahun depan dan meraikan hubungan ke-50 tahun pada tahun 2024 yang secara dasarnya menjadi garisan masa bagi seiring senada dalam membina kerjasama pragmatik untuk kebaikan bersama\u00a0pada\u00a0masa hadapan. Ibarat pepatah Cina,\u00a0\u201cSatu generasi menanam pokok, generasi lain mendapat teduh\u201c\u00a0dan hal ini menandakan gagasan hubungan yang terbina pada masa ini , iaitu\u00a0generasi seterusnya bakal mendapat hasilnya. Sudah pasti semua pihak mengharapkan agar hubungan organik Malaysia dan China menyaksikan lebih banyak pencapaian dan \u00a0hubungan berada pada peringkat tinggi yang semakin kukuh.\n\u00a0\n\u00a0\nPenulis, Mantan Penasihat Pendidikan, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, China." "Menggerakkan Ekosistem Ekonomi Islam Melalui Koperasi Kariah Masjid\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nEkosistem ialah suatu sistem terdiri daripada komponen yang mempunyai peranan, fungsi dan kemajuan tersendiri serta berkaitan rapat antara satu sama lain. Contoh komponen ekosistem perniagaan ialah pengeluar, pembekal, pengedar dan pelanggan. Dalam ekosistem perniagaan setiap komponen mempunyai semangat \u201cleadership\u201d (kepimpinan) tersendiri kerana kesemua entiti itu berfungsi ke arah entiti yang lebih besar (entiti induk), iaitu syarikat utama yang mempunyai syarikat pengeluar dan pengedar yang menjurus kepada memenuhi keperluan entiti yang lebih besar. Ekosistem juga bersifat dinamik kerana mampu berinteraksi dan berkomunikasi,contohnya perniagaan secara digital kini. Perubahan dan perkembangan teknologi terbaharu telah membawa perubahan dalam sistem ekonomi hari ini.\nEkonomi Islam pula,mempunyai objektif tersendiri dan matlamatnya luhur bukan untuk mengaut keuntungan. Berbeza daripada ekonomi konvensional yang mementingkan materialisme, ekonomi Islam merupakan aset berharga bagi sesebuah negara. Adalah penting bagi setiap masyarakat Islam mendalami ilmu ekonomi Islam bagi mengetahui jenis kegiatan ekonomi yang biasa dijalankan dalam Islam dan bagaimana untuk menyelesaikan masalah tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana ekonomi Islam mempunyai nilai tinggi serta prinsip yang menjaga keadilan sosial serta menolak konsentrasi kekayaan berfokus kepada satu pihak sahaja. Lebihan diagihkan secara adil dan saksama, menggalakkan pengaliran wang yang tidak berkembang kepada masyarakat serta mempunyai prinsip persaudaraan yang menjaga kepentingan antara satu sama lain.\nPenggabungan ekosistem dan ekonomi Islam akan menyebabkanseluruh komuniti ekonomi Islam bekerja dalam rangka kerja syariah Islam. Perubahan ini akan menjurus kepada pematuhan syariah.Masjid menjadi asas untuk menggerakkan ekonomi Islam dan operasi ekosistem berjalan dalam komuniti dan masyarakat.\nKoperasi kariah masjid platform yang mampu menggerakkan ekosistem ekonomi Islam. Penekanan ini pada dasarnya adalah kerana kini, masjid hanya beroperasi sebagai institusi yang menjalankan aktiviti ibadah sahaja dan tidak dikembangkan untuk meningkatkan sosioekonomi setempat. Melalui koperasi, kariah masjid dapat mengembalikan fungsi masjid seperti zaman awal kegemilangan Islam yang mana peranan masjid pada ketika itu, meliputi pelbagai aspek. Masjid bukan sahaja menjadi tempat penyebaran syiar Islam tetapi berperanan utama sebagai tempat membina keyakinan,aktiviti ekonomi, politik, pendidikan dan pembangunan masyarakat, penghubung manusia dengan Allah SWT, sesama manusia dan alam sekitar untuk kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.\nPada era globalisasi ini,koperasi kariah masjid harus berperanan menjana dan memajukan ekonomi umat Islam dengan menggalakkan jemaah masjid menjadi anggota koperasi, yang secara tidak langsung akan membentuk komuniti tersendiri dalam kalangan mereka sebagai pembuat keputusan, pengeluar, pembekal, pemborong, penjual dan pengguna yang terlibat dalam pelbagai aspek kegiatan ekonomi. Hal ini akan menjana kegiatan ekonomi umat Islam melalui penglibatan anak kariah yang menawar dan memberikan perkhidmatan bersekutu dengan masjid.\nKoperasi kariah masjid juga berperanan untuk memenuhi tuntutan syariat dan sosioekonomi serta budaya masyarakat setempat. Melalui koperasi, masyarakat dapat bersatu padu membangunkan ekonomi umat Islam. Bagi mencapai kegemilangan masjid pada abad ini, sokongan padu umat Islam amat diperlukan. Mereka harus bergiat aktif sebagai pengeluar dan pengguna. Cara ini akan mewujudkan ekosistem ekonomi Islam yang mantap melalui kebersamaan pelibatan anak-anak kariah dalam pembangunan masjid. Di samping itu, koperasi berperanan mengeratkan perpaduan dan kerjasama antara umat Islam. Apabila ramai anak kariah masjid menjadi anggota koperasi, maka akan berlaku peningkatan aktiviti muamalat Islam yang menggunakan perkhidmatan masjid. Secara tidak langsung, hal ini akan mengeratkan perpaduan selari dengan peranan masjid yang pelbagai dan mampu mendorong pembentukan perpaduan dan kerjasama antara anak kariah yang menjadi anggota koperasi.\nBukan itu sahaja, koperasi kariah masjid juga berperanan menjadikan masjid sebagai pusat perkembangan ilmu dan kebajikan yang bukan sahaja dapat menyebarkan ilmu keagamaan tetapi pelbagai aspek keilmuan lain seperti ilmu kepenggunaan dan kemahiran dalam pelbagai sektor. Apabila anggota bermaklumat dan berpengetahuan, mudah untuk mereka memahami dan melibatkan diri dalam ekosistem ekonomi Islam dalam skop yang lebih besar dan mantap. Koperasi kariah masjid juga boleh mengambil peluang membangunkan aset-aset masjid yang tidak digunakan dengan baik untuk manfaat umat Islam.\nDalam konteks ekonomi Islam, koperasi kariah masjid boleh memainkan peranan membantu negara-negara Islam yang bergolak untuk mencapai pendamaian. Koperasi boleh memperhebatkan lagi peranan untuk menyalurkan bantuan dan sumbangan untuk meningkatkan sosioekonomi masyarakat dalam dan luar negara melalui penglibatan secara langsung dalam misi bantuan kemanusiaan dan pembangunan. Usaha ini dapat direalisasikan apabila koperasi kariah masjid bekerjasama dengan negara Islam lain yang memiliki sumber yang cukup dan kukuh serta mampu mengendalikan operasi bantuan kemanusiaan dan kemiskinan dengan pantas, misalnya kerjasama dengan Perbadanan Operasi Umat Islam Turki yang mempunyai kekuatan sumber dan keanggotaan. Organisasi negara kita amat digalakkan untuk bergabung atau bekerjasama dengan organisasi besar supaya dapat menjana serta menyelenggarakan sumber daripada 57 buah negara umat Islam majoriti dan 112 buah negara umat Islam minoriti.\nMasyarakat Islam tiada kesedaran dan kurang cakna tentang keperluan memperkasakan ekonomi umat Islam. Dalam menyedarkan umat Islam,koperasi kariah masjid berperanan mengadakan program kesedaran tentang kepentingan memperkuatkan ekonomi umat Islam melalui khutbah, kursus, latihan dan seminar bagi membolehkan mereka bertindak. Dalam hal ini, Jabatan Agama Islam perlu berkerjasama dan menyokong usaha ini dengan menyelitkan hal-hal berkaitan ekonomi umat Islam dalam khutbah dan ceramah agama.\nPengurusan masjid juga perlu dilengkapkan dengan kefahaman ekonomi Islam secara maksimum.\u00a0 Kepimpinan masjid wajib memahami dan menyedari serta memainkan peranan dalam mempertingkatkan pembangunan ekonomi Islam melalui penglibatan ahli jawatankuasa masjid dan ahli jawatankuasa koperasi untuk pembangunan ummah.\u00a0 Antara cara paling mudah dan efektif ialah dengan melaksanakan jualan harga patut, pasar tani, ekspo dan pameran serta memperbanyakkan penglibatan masjid dalam aktiviti ekonomi dan sosial. Bazar Jumaat merupakan platform yang boleh digunakan umat Islam untuk memulakan penglibatan dalam kegiatan ekonomi Islam.\nSelain itu, koperasi perlu melaksanakan kempen keanggotaan untuk menggalakkan lebih ramai masyarakat, kariah masjid Islam dan bukan Islam menjadi anggota koperasi bagi menjamin kelestarian ekosistem Islam. Hal ini kerana koperasi kariah masjid tidak terhad kepada orang Islam sahaja malah terbuka untuk semua termasuk bukan bumiputera. Hal ini dapat mempromosikan produk-produk koperasi atau produk keluaran Muslim yang akan menggalakkan pembelian produk keluaran umat Islam.\nGerakan koperasi Malaysia perlu memainkan peranan menggerakkan ekosistem ekonomi Islam untuk melibatkan lebih ramai masyarakat Islam dalam pembangunan ekonomi. Hal ini bagi mencapai hasrat kerajaan untuk melibatkan 30 peratus atau lebih umat Islam dalam ekonomi melalui koperasi. Kadar pegangan ekonomi umat Islam adalah dalam lapan peratus yang mana masih rendah. Antara cadangan kerajaan untuk meningkatkan penyertaan umat Islam dalam ekosistem ekonomi Islam ialah dengan menambah infrastruktur untuk mempromosi dan memasarkan produk Islam. Hal ini kerana tanpa kemudahan pasaran, produk umat Islam sukar untuk dipasarkan, dicari dan seterusnya tidak laku. Walaupun terdapat 60 peratus majoriti pengguna Islam tetapi kebanyakannya gagal menggunakan produk sendiri. Kesannya komuniti Islam gagal mencapai matlamat membentuk ekosistem ekonomi Islam. Bukan itu sahaja, mentaliti umat Islam juga merupakan antara cabaran utama dalam mencapai matlamat membentuk ekosistem ekonomi Islam.\nSeterusnya usaha juga perlu dipertingkatkan bagi mempromosi produk keluaran Muslim supaya umat Islam sedar tentang kewujudan dan seterusnya menggunakan produk tersebut. Umat Islam seharusnya, membeli produk keluaran Muslim kerana pembelian ini dapat menguatkan ekonomi umat Islam. Kelemahan orang Islam hari ini ialah mereka lebih gemar membeli produk bukan keluaran Muslim. Melalui koperasi, usaha ini dapat menggalakkan masjid menjadi pembekal dan penjual produk-produk keluaran Muslim. Hal ini bagi memudahkan umat Islam mendapat barangan halal.\nMajoriti negara Islam memiliki kepakaran tetapi malangnya sangat bergantung pada konsep kutipan derma. Cara ini menyebabkan ekonomi negara Islam terjejas dan membawa peningkatan kemiskinan, pengangguran dan kebergantungan tinggi pada pihak luar. Usaha ke arah menggerakkan ekonomi Islam adalah amat penting dan dapat dilaksanakan menggunakan tiga asas ekonomi, iaitu zakat, wakaf dan sedekah.\nPembinaan ekosistem ekonomi Islam masjid di bawah \u201caktiviti kemanusiaan\u201d dalam memberi khidmat bantuan kecemasan dapat menjamin kekuatan ekonomi melalui pembelian dan penyaluran barangan. Majoriti negara Islam kini tidak mampu untuk menyumbang kepada ekonomi umat Islam kerana mengutamakan kepentingan peribadi dan keluarga. Kelemahan ekosistem ekonomi Islam memberi impak kepada sumbangan kemanusiaan yang menjadi cabaran utama dalam pembangunan Islam. Penyelesaian mudah isu ini adalah dengan penubuhan koperasi yang akan menjadi tunjang ekonomi umat Islam dalam meningkatkan guna tenaga, pengalaman dan kepakaran luar bagi menikmati kekayaan bersama seiring perkembangan ekosistem Islam hari ini.\nKoperasi kariah masjid boleh menjadi pusat pengedaran lebih 80 peratus produk keluaran syarikat Islam di seluruh Malaysia. Meskipun begitu, ekosistem koperasi kariah masjid belum lagi mampu untuk membawa syarikat bertaraf antarabangsa terlibat dalam ekosistem ini. Hal ini disebabkan masyarakat Islam kurang keprihatinan terhadap umat Islam yang lain. Umat Islam harus prihatin dan peka terhadap produk keluaran umat Islam tempatan dengan membeli dan menyokong kegiatan ekonomi Islam. Selain itu, masyarakat Islam juga harus\u00a0 melibatkan diri dalam aktiviti\u00a0 jualan dan pembelian produk keluaran Islam melalui masjid sebagai tempat penjualan atau menyediakan kemudahan infrastruktur seperti \u201cMalakat Mall\u2019 untuk memberi peluang kepada usahawan Muslim memasarkan produk atau jenama tempatan.\nPemerkasaan ini diharapkan dapat membawa perubahan besar kepada negara-negara Islam dan jati diri masyarakat yang amat diperlukan bagi menjamin perkembangan ekosistem Islam. Hal ini kerana walaupun dengan perancangan rapi oleh agensi-agensi kerajaan Islam mahupun pihak yang ingin membantu mencapai kelestarian, ekosistem Islam tidak akan tercapai jika masyarakat itu sendiri tidak turut serta dalam perubahan ini. Isu ini memerlukan tindakan proaktif semua pihak tanpa mengira usia dan gelaran." "Raja Muda Perlis Bertitah Seru Graduan Bentuk Kepimpinan Berwibawa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putera \u2013 \u201cJadilah pemimpin yang adil dan berintegriti. Graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hendaklah menjadi golongan yang jujur dan sentiasa berpegang kepada nilai integriti kerana kepimpinan yang adil tanpa mengabaikan nilai integriti mendorong orang lain untuk menghormati prinsip kepimpinan seseorang itu.\u201d\nDemikian titah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berangkat menyempurnakan Istiadat Konvokesyen 16 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Sidang Ketujuh di Dewan Ilmu Kampus Alam UniMAP, Pauh Putera, pagi tadi.\nKeberangkatan tiba baginda disambut oleh Naib Canselor Prof. Dato\u2019 Ts. Dr. Zaliman Sauli.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mengingatkan semua bahawa pemimpin yang disayangi ialah pemimpin yang memimpin dengan nilai kasih sayang, teladan dan bertoleransi. Oleh itu, sentiasalah menyelami hati dan situasi pekerja bawahan masing-masing kerana tanpa mereka seseorang pemimpin itu tidak mudah untuk berada di kemuncak kerjaya atau organisasinya.\nPada majlis tersebut, DYTM Tuanku Raja Muda berkenan menganugerahkan ijazah kepada seramai 398 orang graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Bahan, Kejuruteraan Bioproses, Kejuruteraan Polimer, Kejuruteraan Metalurgi, Kejuruteraan Biosistem dan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia Teknologi Makanan, Proses Kimia Industri serta Bioteknologi Industri." "Pertandingan Deklamasi Sajak Warga MOT Menyemarakkan Dekad Bahasa Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Pada 8 September 2022, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Harta Intelek, Jabatan Penerbitan DBP menganjurkan Pertandingan Deklamasi Sajak bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2022.\nMenerusi pertandingan ini, kesemua juri sebulat suara memilih lima orang pemenang. Johan pertandingan ini dimenangi oleh Puan Shamima VPK Abdulla dari JPJ Ibu Pejabat, yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM500. Beliau mendeklamasikan sajak yang berjudul \u201cKita Katakan Tidak\u201c, karya Sasterawan Negara ke-14, iaitu Dr. Rahman Shaari. Naib Johan pula disandang oleh Ts. Dr. Rizati Hamidun dari MIROS yang menyampaikan sajak yang berjudul \u201cErti Hidup Bererti\u201d, karya Teo Wei Sing dan menerima wang tunai sebanyak RM300.\nTempat ketiga pula dimenangi oleh Encik Shaiful Naszri Abdul Wahid dari MOT dengan sajak yang berjudul \u201cGhenta Cinta\u201d, karya oleh Dr. Lim Swee Tin, yang menerima wang tunai RM200. Dua orang penerima sagu hati pula ialah Puan Ruslina Kamarudin dari Rapidbus Sdn. Bhd. dan Encik Cheong Koon Yun dari JPJ Negeri Pahang, yang masing-masing menerima wang tunai RM100. Setiap pemenang juga menerima cenderamata iringan berupa buku terbitan DBP, majalah DBP dan sijil penyertaan.\n\u00a0\n\u00a0\nKesemua pemenang menerima hadiah dan cenderamata yang disampaikan oleh YBhg. Datuk Isham Ishak, Ketua Setiausaha MOT, yang diiringi oleh YBrs. Dr. Hazami Jahari, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP. Sementara itu, para juri yang mengadili pertandingan ini terdiri daripada Encik Amran Ibrahim Rashidi (Aktivis Puisi Terapi dan Puisi Artistik\u00a0 selaku Ketua Juri), Encik Wan Mohd Farid Jamel (Editor Bahagian Buku Sastera, DBP) dan Encik Mohd Salleh (Bahagian Perolehan dan Kewangan MOT).\nPenganjuran Pertandingan Deklamasi Sajak ini merupakan satu daripada objektif DBK 2022, iaitu untuk menyerlahkan jati diri dan citra bangsa Malaysia menerusi bahasa dan sastera kebangsaan. DBK dilaksanakan secara bersepadu dengan pelbagai pihak termasuklah dengan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.\nPertandingan Deklamasi Sajak yang julung-julung kali diadakan di MOT ini bertujuan untuk membina dan menyerlahkan bakat dalam mendeklamasikan sajak dalam kalangan warga MOT telah menerima sambutan yang menggalakkan. Pertandingan yang berlangsung di perkarangan lobi MOT ini disertai oleh 21 orang peserta yang terdiri daripada warga MOT, jabatan dan agensi seperti JPJ, MIROS, APAD, CAAM. MAHB, PRASARANA, RAPID BUS dan MRL." "Raja Perlis Berkenan Anugerahkan Tauliah Pelantikan kepada Menteri Besar Perlis yang Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah berkenan agar Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis yang baharu diadakan di Istana Arau pada Selasa, 22 November 2022, pukul 4.00 petang.\nMenurut siaran media dari Istana Arau, pada majlis tersebut seorang calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memenangi pilihan raya baru-baru ini akan dianugerahkan tauliah pelantikan daripada baginda Raja Perlis dan seterusnya mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perlis di hadapan baginda.\nDalam perkembangan lain, pada petang semalam baginda Raja Perlis diiringi Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima sembah mengadap taaruf secara seorang demi seorang oleh kesemua 14 orang ADUN daripada Perikatan Nasional (PN) selepas PN berjaya membentuk kerajaan melalui kemenangan 14 kerusi daripada 15 kerusi DUN semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri Perlis baru-baru ini.\nPada malam sebelumnya, Tuanku Syed Sirajuddin juga telah turut berkenan menerima mengadap Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Dato\u2019 Seri Hamzah Zainudin yang telah mempersembahkan surat cadangan nama calon Menteri Besar Perlis yang baharu daripada Pengerusi PN untuk pertimbangan dan limpah perkenan baginda. Turut hadir ialah Ahli Majlis Tertinggi PN, Datuk Seri Haji Takiyuddin Hassan dan juga Bendahari Agung PN, Dato\u2019 Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar." "Memahami Mandat Rakyat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSelepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) melabuhkan tirainya, akhirnya keputusan rasmi memberikan satu tamparan hebat kepada Barisan Nasional (BN) selaku parti yang menganggotai barisan kepimpinan kerajaan Malaysia sebelum ini. Walaupun parti BN konsisten memenangi beberapa siri dalam PRN yang lepas, namun kelihatan kemenangan tersebut tidak berjaya dikekalkan di lapangan kerusi Parlimen. Sebaliknya, kemenangan 82 kerusi mengatasi parti-parti lain dicapai oleh Pakatan Harapan (PH) membuktikan bahawa gabungan tersebut masih menjadi pilihan utama rakyat pada masa ini walaupun kemenangan tersebut belum cukup untuk membentuk majoriti mudah . Begitu juga dengan pencapaian yang diperoleh oleh Perikatan Nasional berbekalkan kemenangan 73 kerusi menjadikan gabungan tersebut masih menjadi antara pilihan utama rakyat, walaupun pada detik-detik akhir wujud isu percanggahan antara kepimpinan parti gabungan tersebut.\nKestabilan dalaman dan imej parti merupakan faktor utama kepada kejatuhan BN dalam PRU-15. Seperti yang dinyatakan oleh Dr. Mohammad Tawfik Yaakub, penganalisis politik dalam berita yang bertajuk \u201cPenguguran Tajuddin wujud Tanggapan UMNO Berpecah\u201d (Berita Harian: 26 Jun 2022) yang ditulis oleh\u00a0 Mohd Iskandar Ibrahim dan Mohd Nasaruddin Parzi. Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berpendapat bahawa UMNO akan mengalami kesukaran untuk menguasai semula pemerintahan kerajaan jika parti tersebut gagal untuk distabilkan semula sebelum PRU-15. Perpecahan ini turut diperakui dalam kenyataan Tan Sri Annuar Musa dalam penulisan berita Astro Awani bertajuk \u201cUMNO Kini Sudah Berpecah Tiga\u201d yang ditulis oleh Firdaus Azli dan diterbitkan pada 17 Januari 2021.Dinyatakan bahawa menurut Tan Sri Annuar Musa, perpecahan UMNO terbahagi kepada tiga kelompok. Pertama kumpulan yang tolak BERSATU, kedua yang berada di tengah-tengah dan yang ketiga menerima BERSATU. Bahkan kenyataan ini dilihat sebagai sesuatu yang konsisten apabila Tan Sri Shahir Samad selaku ahli veteran parti UMNO dalam Utusan Malaysia yang bertajuk \u201cUMNO, BN Sudah Berpecah Tiga\u201d dan diterbitkan pada 1 Ogos 2021 dan ditulis oleh Muhammad Aimy Ahmad, turut menyatakan perpecahan yang berlaku dalam parti tersebut. Tambah beliau lagi, \u201cepisod perpecahan BN sejak PRU-14 tidak boleh ditutup walaupun selepas 38 bulan berlalunya PRU-14\u201d. Berdasarkan pengamatan, keadaan perpecahan ini membawa kepada kerapuhan dan keterbatasan parti tersebut untuk bergerak seiring dan utuh bagi mendapatkan semula majoriti dalam PRU-15. Sehingga ketidakstabilan dalaman yang mula terserlah ini turut menjadi modal utama dalam kempen-kempen parti lawan yang lain, yakni mengaitkan perpecahan tersebut dengan pencalonan Perdana Menteri sehingga mengundang kekeliruan.\nWalaupun kerajaan Keluarga Malaysia mencatatkan keberhasilan pentadbiran sebelum ini, namun persepsi terhadap ketidakseimbangan parlimen menjadi antara sebab utama parti tersebut sukar meraih perhatian pengundi tegar. Ditambah pula dengan beberapa pengguguran nama-nama besar daripada bertanding dalam PRU-15. Sehingga mengundang kekecohan pada peringkat jentera dan akar umbi.\u00a0Selain kestabilan politik, isu kos sara hidup, kenaikan harga barang, kejatuhan nilai ringgit, kadar pengangguran, peluang pekerjaan dan beberapa isu ekonomi termasuk memulihkan ekonomi negara antara isu yang menjadi tumpuan utama sebilangan besar pengundi dalam PRU-5. \u00a0Umum mengetahui bahawa rentetan daripada fasa pandemik, majoriti rakyat Malaysia menghadapi tekanan kewangan terutamanya golongan yang datang daripada kelompok B40. Isu-isu utama ini tidak berjaya ditangani dengan baik dan menyeluruh walaupun terdapat beberapa perkembangan dan pulangan positif dalam pelaksanaan dan pembaharuan yang dilaksanakan. Sehingga masih terdengar rintihan dan keluhan pengundi berkaitan dengan tekanan ekonomi.\u00a0Malah kegagalan menepis persepsi isu-isu ekonomi yang dibangkitkan oleh parti lawan di ruangan kempen siber dan fizikal turut menjadikan parti lawan semakin mula mendapat perhatian di sisi pengundi. Sehingga secara tidak langgung, mengundang kecenderungan yang tinggi dalam kalangan pengundi untuk menolak BN dalam PRU-15.\nBerdasarkan pengamatan, kempen yang bersifat setempat dan tidak menyeluruh juga antara merit tambahan kepada parti lawan. Calon-calon yang bertanding kebanyakannya hanya berkempen di kawasan masing-masing. Berbeza daripada pendekatan yang digunakan oleh calon Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan. Mereka mengambil pendekatan dengan melakukan program jelajah hampir di setiap kawasan parlimen yang ditandingi oleh calon-calon parti mereka. Oleh hal yang demikian, perkara ini secara tidak langsung mencerminkan kesungguhan Pakatan Harapan untuk menawan dan mendapat tempat di sisi semua pengundi. Hatta akhirnya, keberhasilan kempen berbentuk jelajah ini menjadikan Gabungan Pakatan Harapan, gabungan yang berjaya memperoleh kerusi paling banyak dalam sejarah PRU-15. Perkara ini secara tidak langsung, sedikit sebanyak menenggelamkan kempen PRU yang dijalankan oleh parti lain.\nBerdasarkan penilaian analisis manifesto yang ditawarkan dalam PRU-15, BN antara parti yang mempunyai tawaran yang lebih lengkap, dekat dan realistik kepada pengundi. Sementara itu,\u00a0Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Kerajaan Keluarga Malaysia sebelum pembubaran Parlimen juga antara belanjawan terbaik yang pernah tercatat dalam sejarah negara. Begitu juga dengan hasil kerja dan prestasi cemerlang yang dilakarkan oleh \u00a0Perdana Menteri ketika itu, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob dan pasukan kabinet yang dibimbingnya. Namun begitu, disebabkan persepsi yang berkaitan dengan ketidakstabilan parti dan naratif yang mengaitkan parti dengan kluster mahkamah berpotensi membawa perubahan dan pembangunan kepada negara menemui jalan kekalahan dalam PRU-15. Oleh sebab itulah, sudah tiba masanya BN melakukan penstrukturan dan penjenamaan semula bagi mendapatkan perhatian dan sokongan rakyat. Baik di sisi pengundi-pengundi tegar ataupun pengundi-pengundi baharu.\n\nKekalahan yang dihadapi dalam PRU-15 seharusnya menjadi pembakar semangat dan renungan. Agar segala kesilapan dan kekurangan dapat diperbaik dan seterusnya menjadikan parti tersebut antara pesaing terbesar dan sengit bagi parti lain dalam PRU yang akan datang." "Graduan, Penting Asah Ilmu dan Kemahiran Baharu \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nRaja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah dalam tayangan video di majlis Istiadat Konvokesyen ke-16 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi sidang ke-8 mengingatkan para graduan supaya sentiasa mengorek ilmu dan kemahiran yang menjadi tarikan majikan.\nTitah baginda lagi selaku Tuanku Canselor, pengetahuan atau kemahiran tersebut boleh diasah melalui program latihan dan program secara dalam talian yang ditawarkan oleh organisasi dalam dan luar negara.\nDalam majlis tersebut, sebanyak 424 graduan Diploma Kejuruteraan, Master Profesional dan Diploma Profesional UniMAP menerima skrol daripada Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil pada petang semalam yang diadakan di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.\nTuanku Raja Puan Muda Perlis, DYTM merangkap Tuanku Pro Canselor universiti berkenan menganugerahkan Diploma Kejuruteraan bagi jurusan Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekatronik, Kejuruteraan Komputer, Kejuruteraan Mikroelektronik, Kejuruteraan Metalurgi dan Kejuruteraan Pembuatan yang telah berjaya.\nTurut disampaikan oleh Tuanku Hajah Lailatul Shahreen ialah penganugerahan Master Profesional, Master Eksekutif Pengurusan Projek Pembinaan dan Penganugerahan Diploma Profesional dan Diploma Profesional Penyeliaan Tapak Pembinaan." "Majlis Menandatangani Laporan Khidmat Nasihat antara DBP dengan SPRM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bertempat di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka, telah berlangsung Majlis Menandatangani Laporan Khidmat Nasihat antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).\nMajlis tersebut dihadiri oleh delegasi SPRM, iaitu seramai lapan orang yang diketuai oleh Datuk Izani Wan Ishak selaku Pengarah Bahagian Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan (BPMP), SPRM. Sementara itu, DBP pula diwakili oleh Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran selaku Ketua Pengarah DBP. \nDalam ucapannya, Datuk Izani menjelaskan tujuan utama pelaksanaan khidmat nasihat di DBP adalah untuk memastikan amalan, sistem dan tatacara sesebuah badan awam tidak membuka ruang dan peluang kepada amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan selaras dengan fungsi BPMP, SPRM sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 7(c), (d) dan (e) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. \n\u201cPerkara ini adalah selaras dengan aduan yang diterima oleh SPRM tentang urusan pengambilan di DBP yang menarik perhatian BPMP untuk melaksanakan pemeriksaan dan seterusnya memberikan khidmat nasihat yang sewajarnya kepada DBP,\u201d ujarnya. \nDalam pertemuan yang berlangsung selama dua jam itu, Datuk Izani turut memaklumkan tentang hasil pemeriksaan terhadap amalan, sistem dan tatacara bagi urusan pengambilan di DBP yang secara keseluruhannya adalah teratur. \nBeliau turut mencadangkan beberapa penambahbaikan bertujuan untuk memantapkan lagi urusan pengambilan bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap DBP pada masa akan datang.\n\u201cTahniah diucapkan kepada DBP yang telah memberikan sepenuh komitmen sepanjang sesi khidmat nasihat ini dijalankan, iaitu sejak 17 Ogos 2022,\u201d ujarnya.\nSementara itu, Datuk Abang Sallehuddin dalam ucapannya memaklumkan bahawa DBP berpuas hati dengan pembentangan yang dibuat kerana usaha tersebut membuktikan bahawa aduan yang dikemukakan adalah tidak berasas. Tambahnya lagi, beberapa transformasi kaedah kerja dan penambahbaikan proses pengambilan telah dilaksanakan bagi memastikan proses tersebut mengikuti peredaran masa yang kalis dengan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.\nYang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah pihak pengurusan dan pegawai DBP." "Sebanyak 412 Graduan Terima Anugerah Kehormat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra \u2013 Jagoan Paralimpik dunia kebanggaan negara kelahiran Perlis, Datuk Abdul Latif Romly menerima anugerah Ijazah Kehormat Sarjana Sains Kemanusiaan daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam Sidang Pertama Bagi Istiadat Konvokesyen 16, semalam.\nSebanyak 412 graduan menerima penganugerahan Ijazah Doktor Falsafah, Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Kepujian) Keusahawanan Kejuruteraan di majlis tersebut.\nRaja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor UniMAP berkenan berangkat mengurniakan anugerah tersebut di Dewan Ilmu Kampus Alam UniMAP Pauh Putra. Keberangkatan baginda disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Profesor Dato\u2019 Ts. Dr. Zaliman Sauli.\nDalam titah ucapan Tuanku Syed Faizuddin Putra, baginda berpesan, perjalanan hidup seorang graduan hakikatnya tidak terhenti selepas konvokesyen, namun menjadi detik permulaan hari untuk ke tahap yang lebih tinggi dan mencabar pada masa ini.\nDalam perkembangan yang sama, Tuanku Canselor turut menyampaikan anugerah lain seperti pingat dan anugerah bagi penerima Hadiah Pelajaran, Hadiah Inovasi dan Pemenang Hadiah Kecemerlangan Akademik universiti.\nTurut menerima Ijazah Kehormat ialah Dato\u2019 Dr. Ir. Ts. Annuar Mohd Saffar (Doktor Kejuruteraan) dan Profesor Dr. Shinji Shimada dari Jepun (Doktor Pengurusan).\nTuanku Raja Muda turut mengingatkan semua graduan agar sentiasa mengangkat nilai murni UniMAP melalui slogan \u201cIlmu, Keikhlasan, Kecemerlangan\u201d yang merupakan nilai murni yang seharusnya ditanam dalam diri semua selaku duta universiti ini. Nilai murni tersebut juga harus sentiasa dipraktikkan, terutamanya apabila alumninya melangkah ke alam pekerjaan kelak. Hal ini dikatakan demikian dapat membantu mereka untuk menyelesaikan apa sahaja tugasan dengan lebih beramanah dan berintegriti." "Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri ke-10\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada hari ini.\nPelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden Parti Keadilan Raktyat (PKR) itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara pagi tadi.\n\u201cSetelah memperhalus titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan untuk melantik Yang Berhormat, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ahli Parlimen Tambun) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.\n\u201cHal tersebut selaras dengan kuasa baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan,\u201c demikian menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin melalui satu kenyataan pada hari ini.\nKenyataan itu menyebut, pada sesi perbincangan khas Raja-Raja Melayu yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, baginda telah berkenan mewasalkan kepada Raja-Raja Melayu bahawa proses pelantikan Perdana Menteri baharu susulan daripada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Sabtu lalu.\n\u201cPerbincangan khas itu juga bertujuan bagi Seri Paduka mendapat pandangan Raja-Raja Melayu untuk membolehkan baginda membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.\n\u201cProses di atas adalah bagi membolehkan Seri Paduka membuat keputusan melantik seorang Ahli Dewan Rakyat pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan\u201c.\nDatuk Seri Ahmad Fadil berkata, proses seterusnya ialah Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan pada pukul 5:00 petang \u00a0di Istana Negara.\n\u201cSeri Paduka mengingatkan kepada semua pihak bahawa yang menang, tidak menang semua dan yang kalah, tidak kalah semua. Justeru, bagai biduk lalu, kiambang bertaut, hulurkan tangan antara satu dengan yang lain bagi merapatkan semua saf antara semua ahli Dewan Rakyat demi masa depan negara tercinta,\u201c katanya. Baginda menegaskan, negara ini umpama harta pusaka dan pemimpin adalah pemegang amanahnya serta perlu dijaga kerana bakal diwarisi generasi yang akan membawa negara terus ke mercu kejayaan.\n\u201cSeri Paduka juga berpesan kepada Perdana Menteri dan kerajaan baharu yang bakal dibentuk untuk mengambil resmi padi, iaitu semakin berisi semakin tunduk.\n\u201cPada hakikatnya, rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah kerajaan stabil untuk merancakkan landskap ekonomi dan pembangunan negara.\n\u201cAhli Dewan Rakyat yang telah dipilih turut diingatkan supaya mempamerkan soladiriti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,\u201c jelas baginda.\nSeri Paduka turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada sokongan berterusan Raja-Raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab baginda selaku Raja Berperlembagaan yang berteraskan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.\n\u201cDuli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu turut menyokong pendirian Seri Paduka Baginda bagi pembentukan kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan PRU-15 menerusi proses yang penuh cermat dan teliti serta pemerhatian yang mendalam.\n\u201cSeri Paduka Baginda memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT dan menyeru rakyat agar terus beristiqamah serta bertenang dan bersama mendoakan agar negara sentiasa diberkati, dirahmati dan di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi daripada sebarang bencana dan musibah,\u201c." "Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim Angkat Sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara pada pukul 5.06 petang hari ini.\nYang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada hari ini selesai menzahirkan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 kepada Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim, 75, di Istana Negara.\nMajlis di Singgahsana Kecil Istana Negara menyaksikan Dato\u2019 Seri Anwar yang juga ahli Parlimen Tambun melahirkan setia dan sumpah simpan rahsia di hadapan yang Dipertuan Agong.\nHadir sama, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Hakim Negara Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (isteri Perdana Menteri).\nAntara pemimpin parti politik yang hadir termasuklah Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.\nDalam majlis istiadat itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah turut membacakan doa untuk kesejahteraan negara. Sebelum itu, Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri Kesepuluh selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan selepas Seri Paduka mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu mengenai proses melantik Perdana Menteri susulan Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November lalu.\nUntuk rekod, Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim pernah menyandang beberapa jawatan dalam kabinet, iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1982), Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1983), Menteri Pendidikan (1986 hingga 1991), Menteri Kewangan (1991 hingga 1998) dan Timbalan Perdana Menteri (1993 hingga 1998).\nBeliau bagaimanapun dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri daripada kabinet dan UMNO sebagai Timbalan Presiden pada tahun 1998. Sususlan dipecat, beliau mengetuai bantahan awam terhadap Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamed dan dari situlah bermulanya gerakan reformasi yang terus subur sehingga kini.\nAntara pencapaian terbaik beliau termasuklah diiktiraf sebagai Menteri Kewangan Terbaik Asia oleh Asia Money pada tahun 1996.\nBeliau juga pernah dilantik sebagai Presiden Majlis Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (Unesco), Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa, Presiden Kehormat Kebolehpercayaan dan Ahli Lembaga Penasihat Kumpulan Krisis Antarabangsa." "Media, Platform Penting Sebar Maklumat Percukaian Negara \u2013 Datuk Mohd Nizom\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya\u00a0\u2013 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mengadakan Sesi Libat Urus Bersama Dengan Media 2022 di Wangsa Bowl, IOI City Mall bagi menjalinkan hubungan yang erat antara HASiL dengan pengamal media, hari ini.\nKetua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Mohd Nizom Sairi berkata, sesi libat urus melalui Kejohanan Boling Persahabatan ini adalah bertujuan untuk beramah mesra dan membina hubungan yang baik sesama pihak media, di samping mendapatkan maklum balas terus daripada agensi terbabit bagi menambah baik perkhidmatan HASiL kepada rakyat.\nMenurut Datuk Mohd Nizom lagi ketika sesi beramah mesra, program ini merupakan tanda terima kasih kepada para media atas liputan yang diberikan sepanjang lebih dua dekad usia organisasi ini, khususnya dalam memberikan penerangan berkaitan dengan maklumat percukaian kepada masyarakat umum.\nSelain mengadakan agenda libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan, kali ini HASiL bersama dengan pihak media pula. Sesi santai dan ramah mesra menerusi aktiviti sukan ini menjadi pilihan kali ini agar lebih banyak masa dapat diluangkan bersama pihak media yang memainkan peranan yang amat penting dalam ekosistem percukaian negara.\n\u201cSemua inisiatif dan strategi yang direncanakan oleh HASiL memerlukan sokongan berterusan daripada pihak media untuk disampaikan kepada masyarakat agar usaha membina satu sistem percukaian milik rakyat dapat direalisasikan.\n\u201cMedia ialah rakan penting HASiL dalam menyebar luas elemen kesedaran cukai kepada semua pembayar cukai. Semoga jaringan kerjasama antara HASiL dengan media terus subur demi kelestarian Malaysia sebagai sebuah negara maju lagi makmur.\nMenariknya, penganjuran ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan apabila melibatkan sebanyak 22 agensi, antaranya termasuklah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Media Prima Berhad, Radio Televisyen Malaysia, Astro Awani, Sinar Harian, China Press, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad dan banyak lagi.\u00a0 Kejohanan ini diadakan mengikut kategori, iaitu pengurus atasan, trio (terbuka), individu lelaki dan individu perempuan." "Graduan UniMAP, Pemimpin yang Disegani\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra\u00a0\u2013 Sebanyak 384 orang graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Dengan Kepujian bagi jurusan Mikroelektronik, Komputer, Elektronik Bioperubatan, Elektronik, Perhubungan, Fotonik dan Rangkaian Komputer, sempena Istiadat Konvokesyen ke-16 UniMAP Sidang ke-3, hari ini.\nRaja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP dalam siaran rakaman titah ucapan menasihatkan agar semua graduan mempunyai nilai tambah apabila berada dalam alam pekerjaan kerana perkara ini dapat memberikan persepsi positif kepada majikan.\nGraduan perlu sedar walaupun berkemungkinan tidak akan terus menyandang jawatan yang tinggi pada peringkat awal permulaan pekerjaan, namun kita harus mempamerkan sifat seorang pemimpin yang disegani.\n\nDalam perkembangan yang sama, Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor UniMAP berkenan menganugerahkan pengiktirafan penghargaan tersebut kepada para graduan, seterusnya turut menyampaikan folder ijazah kepada 407 orang penerima Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Kepujian) (Perniagaan Antarabangsa) dan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu (Kepujian).\nKeberangkatan baginda ke Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP ini turut diiringi oleh anakanda baginda, Sharifah Farah Adriana Jamalullail yang disambut oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Zaliman Sauli." "Raja Puan Muda Perlis Berkenan Menyempurnakan Sidang Terakhir Istiadat Konvokesyen 16 UniMAP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra \u2013 Istiadat Konvokesyen 16 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) selama empat hari berakhir pada Khamis, 24 November 2022 baru-baru ini.\nDalam sidang terakhir tersebut, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menganugerahkan folder ijazah masing-masing kepada seramai 312 orang graduan di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP di Pauh Putra.\nPara penerima ijazah terdiri daripada graduan bagi jurusan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Kepujian) bagi Sistem Elektronik, Rekabentuk Telekomunikasi Elektronik, Rekabentuk Rangkaian Elektronik dan Elektronik Bersepadu serta Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) bagi jurusan-jurusan Kejuruteraan Awam, Alam Sekitar dan juga Pembinaan.\nKeberangkatan tiba Tuanku Raja Puan Muda merangkap Pro Canselor disambut oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Zaliman Sauli.\nSementara itu, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP dalam siaran rakaman titah ucapan baginda kepada sekalian yang hadir menasihatkan golongan pelajar supaya sentiasa membabitkan diri dalam organisasi agar dapat memupuk nilai kepimpinan yang tinggi. Hal ini adalah kerana kemahiran komunikasi yang baik dapat menyampaikan penjelasan dan teguran dengan baik serta diterima juga dengan baik. Perkara ini adalah penting dalam menyampaikan hujahan supaya difahami oleh pekerja bawahan apabila sesuatu isu dibincangkan dalam alam pekerjaan kelak.\nIstiadat Konvokesyen 17 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) selama empat hari pula bermula pada hari ini, Sabtu, 26 November 2022 hingga Selasa, 29 November 2022." "Antara Deskriptif\u00a0dengan\u00a0Preskriptif dan Dogmatik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBahasa Melayu telah wujud dan berkembang mengikuti aliran masa dari zaman silam lagi. Dalam hal ini, bahasa Melayu pernah digunakan sebagai lingua franca atau bahasa perhubungan yang luas di Nusantara, digunakan sebagai bahasa ilmu di Aceh dan dijadikan sebagai bahasa pentadbiran pada\u00a0zaman Kesultanan Melaka.\nSeterusnya, dengan tercapainya kemerdekaan Tanah Melayu, bahasa Melayu telah diangkat sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, dan kemudiannya menjadi bahasa pengantar utama dan bahasa ilmu tinggi. Oleh itu, peranan yang dimainkan oleh bahasa Melayu semakin rencam dan kompleks.\nPerkembangan sezaman yang mengundang pelbagai perkembangan politik, ekonomi, sosial dan budaya menuntut agar bahasa Melayu diperkasakan dan dimantapkan untuk menggalas tanggungjawab komunikasi yang semakin berat. \u00a0Bahasa Melayu bukan sahaja digunakan secara longgar dalam suasana yang santai, malah perlu digunakan dengan tepat dan jelas dalam pelbagai wacana komunikasi aras tinggi.\u00a0Oleh itu, satu versi bahasa Melayu yang baku atau standard perlu diwujudkan sebagai wahana komunikasi yang berkesan.\nUsaha untuk memantapkan bahasa Melayu meliputi pelbagai perkara\u00a0termasuklah\u00a0aspek fonologi, morfologi, sintaksis, ejaan, kosa kata, semantik, dan sebagainya. Dalam hal ini, tatabahasa preskriptif atau normatif telah menjadi gandingan baharu bagi tatabahasa deskriptif. Tatabahasa deskriptif hanya menghuraikan fenomena penggunaan bahasa Melayu seadanya dalam masyarakat tanpa membuat penentuan tentang betul atau salahnya sesuatu ujaran atau penulisan.\nSebaliknya, tatabahasa preskriptif atau normatif berfokus dalam hal memilih dan menentukan bentuk yang betul atau baku untuk kegunaan masyarakat. Tatabahasa preskriptif menetapkan rumus untuk dijadikan panduan atau pegangan oleh masyarakat. \u00a0Hal ini mirip dengan peranan doktor yang mempreskripsikan ubat atau prosedur untuk merawat pesakit. Dengan adanya preskripsi yang betul, barulah seseorang pesakit akan cepat sembuh dan sihat seperti sediakala.\nMemang ada baiknya tatabahasa preskriptif diadakan. Hal ini akan membolehkan bahasa Melayu menjadi bahasa moden yang berupaya mengungkapkan sebarang konsep atau fenomena yang berlaku di sekitar kita. Kita akan dapat mengurangkan perbezaan kedaerahan dan individu yang membatasi pemahaman pengguna umum.\u00a0Bahasa Melayu akan mencapai keadaan saling terjemah atau intertranslability\u00a0dengan bahasa utama di dunia. Unsur kekaburan atau ketaksaan makna akan dapat dielakkan dalam wacana akademik, perundangan dan pentadbiran. Selain itu, bahasa Melayu yang tercatat atau terakam akan dapat difahami dan dikaji sepenuhnya, dengan merentas batasan masa dan geografi. \u00a0Dengan\u00a0cara\u00a0itu, kesinambungan dan kecemerlangan ilmu akan terpelihara di mana-mana jua pada segala zaman.\nPada dasarnya, perkara pokok yang terkandung dalam tatabahasa preskriptif lali dan kebal daripada perubahan yang drastik. Hal ini dikatakan demikian kerana pada umumnya, tatabahasa bersifat lebih stabil berbanding dengan kosa kata atau aspek bahasa yang lain.\u00a0Oleh\u00a0itu, perubahan yang berlaku lebih bersifat penataran atau pengubahsuaian pada huraian yang sedia ada. Walau bagaimanapun, kalaupun tatabahasa preskriptif memastikan kita menggunakan bahasa Melayu mengikut kerangka yang terkawal dan konsisten, hal ini tidak menidakkan kemungkinan bahawa sesetengah huraian mengikut tatabahasa preskriptif akan berubah, jika ada tuntutan dan keperluan baharu.\nBak kata orang Barat, \u201cThe only constant is change\u201d, iaitu perkara yang tetap akan berlaku ialah perubahan. Oleh itu, dengan peralihan masa, ada sahaja perubahan yang akan berlaku pada huraian tatabahasa dengan adanya penemuan bukti atau penghujahan yang baharu. Jika kita enggan mengikut arus perubahan sezaman, perkembangan bahasa Melayu akan terbantut, lalu menjadi beku dan jumud, malah mungkin akan mati.\nDalam keghairahan kita untuk menetapkan tatabahasa preskriptif, satu perkembangan negatif yang mungkin berlaku secara sengaja atau sebaliknya ialah sikap yang dogmatik, iaitu sikap seseorang yang berpegang pada pandangan peribadi tanpa menghiraukan bukti yang ada atau mempertimbangkan pandangan lain yang mungkin benar. Hal ini mungkin bererti seseorang tetap berpegang pada huraian \u00a0lama yang kurang tepat dengan setia meskipun hal tersebut bercanggah dengan realiti. Satu lagi kemungkinan ialah seseorang mencadangkan huraian baharu yang kurang tepat tetapi enggan mengalah atau bertolak ansur. Kedua-dua kemungkinan ini akan menjadikan tatabahasa preskriptif bersifat statik, bukannya progresif.\nJika kita ingin memastikan tatabahasa preskriptif berkembang secara sihat dan terkawal, tidak boleh tidak muzakarah dan perbincangan tentang tatabahasa perlu diadakan oleh pelbagai pihak yang berkepentingan dari semasa ke semasa. Pertemuan boleh diadakan dengan agak kerap, iaitu mungkin beberapa kali setiap tahun. Siapakah mereka yang akan terlibat dalam perbincangan? Selain pakar akademik yang sentiasa menggerakkan dan memesrai kajian mendalam tentang tatabahasa, kita harus juga mengambil kira pandangan kalangan guru bahasa Melayu yang berpengalaman yang saban hari bergelumang dalam kubang wacana komunikasi bahasa Melayu. Dalam hal ini, ilmu dan amal tidak semestinya berkonflik dan bertelagah. Tidak ada soal dan tidak ada keperluan untuk kita menentukan pihak yang lebih berwibawa, lebih hebat atau lebih utama. Yang penting hanya tujuan bersama untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu.\nUntuk membolehkan majlis muzakarah berlaku secara positif dan membuahkan hasil, semua pihak yang terlibat patut bersikap rasional dan terbuka\u00a0dan\u00a0bukannya emosional. Hal ini dikatakan demikian kerana hanya dengan pemikiran yang jernih dan jiwa yang tenang, barulah kita akan dapat menemukan kebenaran yang bagaikan sinar mutiara yang terpendam di dasar lautan yang gelap gelita. Seseorang itu tidak perlu bimbang bahawa kedudukan dan status dirinya akan tercabar atau terancam kerana sesi perbincangan berjalan dalam majlis yang tertutup dan terlindung daripada sorotan khalayak umum. Selain itu, penyampaian hujah harus dilakukan secara sopan dan tenang dengan nada yang sederhana, tanpa suara yang meninggi atau sikap marah membara.\nSetiap hujah yang dikemukakan harus juga berdasarkan logika dan bukti yang nyata. Kita mengakui hakikat bahawa seseorang mungkin akan dilanda rasa kecewa dan sedih apabila pandangannya tidak diterima. Namun demikian, kita berharap tiada yang akan berasa kesal dan merajuk atas hal sedemikian. Sepatutnya perasaan positif yang kita harapkan timbul ialah rasa kesyukuran bahawa kita telah bersama-sama menggerakkan bahasa Melayu selangkah atau beberapa langkah ke hadapan.\nPerkara yang dapat dijadikan sajian perbincangan para cendekiawan bahasa Melayu meliputi aspek ejaan, fonologi, morfologi, sintaksis, semantik, kosa kata dan peristilahan, sosiolinguistik dan hal seumpamanya. Walau bagaimanapun, yang menjadi fokus utama sudah tentulah morfologi dan sintaksis kerana kedua-dua aspek ini menjadi kandungan utama buku tatabahasa dan ujian tatabahasa. Dengan tatabahasa yang mantap, barulah kita ada pegangan yang mapan dalam hal berbahasa.\nSiapakah yang menggerakkannya? Kita berharap\u00a0agar\u00a0Dewan Bahasa dan Pustaka yang diamanahkan tugas untuk memajukan bahasa Melayu akan menjadi penggerak utama untuk menjayakan usaha yang murni ini. Dengan adanya prasarana birokrasi yang cekap dan lengkap, barulah majlis muzakarah tersebut dapat berjalan secara licin dan lancar. Apakah hasil yang kita harapkan akan dijana? Sudah tentulah\u00a0kita berharap agar buku Tatabahasa Dewan\u00a0yang menjadi pegangan utama tatabahasa bagi semua pengguna bahasa Melayu akan dapat dimurnikan dan dikemaskinikan mengikut perkembangan terkini. Bukankah sudah terlalu lama penantian kita?" "MoU KUIPs-UMRI Memperkasakan Pembangunan Pakar Bidang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) berkenan berangkat menyaksikan upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KUIPs dengan Universitas Muhammadiyah Riau Indonesia (UMRI), hari ini.\nBertempat di Kompleks Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis yang baharu di Kangar, MoU tersebut telah ditandatangani oleh Rektor KUIPs, Profesor Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle dan Rektor UMRI, Dr. H. Saidul Amin.\nMenurut Profesor\u00a0Madya Dr. Muhamad Rozaimi , KUIPs komited melebarkan jaringan kerjasama antarabangsa bersama dengan UMRI Indonesia.\u00a0Hasil pertemuan Kunjungan Silaturahim\u00a0ke KUIPs telah mencapai kata sepakat untuk memeterai persefahaman antara kedua-dua institut tersebut sebagai satu daripada langkah untuk merealisasikan pelaksanaan projek penyelidikan, perundingan dan perkongsian ilmu menerusi persidangan dan seminar antarabangsa.\nMengulas lanjut berkaitan dengan kerjasama yang dilaksanakan, KUIPs dan UMRI telah mempersetujui untuk membuat perkongsian kepakaran melalui program pembangunan dan pertukaran staf akademik dan bukan akademik.\nSelain itu, jalinan kerjasama terus diperkukuhkan dengan melakukan pelbagai program seperti penyelidikan dan perundingan, menerbitkan bahan penyelidikan, buku dan jurnal, serta\u00a0program khidmat masyarakat.\nKerjasama ini dijangka dapat menyokong pembangunan pakar bidang di kedua-dua pihak untuk membangun dan memperkasakan usaha pendidikan dan penyelidikan secara khususnya." "Selamat Bersara Datuk KP DBP!\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merakamkan sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran atas segala bakti yang dicurahkan sepanjang perkhidmatan beliau selama 38 tahun di DBP. YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran menamatkan tempoh kontraknya sebagai Ketua Pengarah DBP berkuat kuasa pada 28 November 2022, pada hari ini.\n\u201cSyabas dan tahniah kepada seluruh warga DBP yang sentiasa komited dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Kita di DBP umpama sebuah keluarga, meskipun kadangkala bercanggah pendapat, namun kita tetap merealisasikan satu matlamat yang sama,\u201d kata Ketua Pengarah DBP dalam majlis Pertemuan Ketua Pengarah dengan Staf DBP pada 25 November 2022 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP.\nDalam ucapannya juga, beliau turut menekankan bahawa pembudayaan kerja yang proaktif memerlukan iltizam yang tinggi daripada seluruh warga organisasi.\nMenyingkap sejarah kerjaya YBhg. Datuk Abang Sallehuddin di DBP, beliau telah dilantik secara tetap pada 1 November 1983 di DBP Cawangan Sarawak. Sepanjang menyumbang bakti di organisasi keramat ini, beliau telah menyandang beberapa jawatan penting, antaranya termasuklah sebagai Pengarah DBP Wilayah Timur, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, serta pernah menyandang jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah DBP pada 10 Januari 2019.\nDalam Majlis Pertemuan Ketua Pengarah Bersama-sama Warga DBP yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin berkata:\nBerusahalah memainkan peranan dalam setiap bahagian yang ditempatkan. Berikan idea baharu, lakukan pembaharuan dan lakukan program yang menarik serta memberikan manfaat dan impak yang besar.\nSementara itu, beliau turut memberikan penekanan terhadap penerbitan digital agar\u00a0usaha tersebut terus dipergiat dalam konteks menyebarluaskan pelbagai produk penerbitan, bahasa, sastera dan budaya, sekali gus memperkukuh fungsinya seiring dengan perkembangan semasa.\nNasihat beliau:\nTidak kira apa-apa jua jawatan yang disandang, antara perkara yang penting ialah tingkatkan pengetahuan dalam pendidikan, selain mempunyai nilai kerjasama yang tinggi antara satu sama lain.\n\u201cIngatlah amanah dan tanggungjawab yang diberikan bukan sahaja kepada DBP, bahkan melibatkan masyarakat luar.\n\u201cBerikanlah sokongan kepada bakal ketua pengarah baharu. Tanpa sokongan, kita tidak akan memperoleh apa-apa kejayaan. Jika ada kejayaan, itulah kejayaan bersama. Jika ada kelemahan, itulah perkara yang perlu diambil perhatian bersama.\nDemikianlah antara pesanan akhir yang dititipkan oleh Ketua Pengarah DBP kepada semua warga kerja DBP.\nSebelum pertemuan dengan staf DBP, beliau sempat memberikan amanat terakhir kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), pengarah-pengarah jabatan dan ketua-ketua bahagian agar melaksanakan amanah dengan penuh komited dan tanggungjawab, serta memastikan kecemerlangan DBP terus terlakar di mata masyarakat, seterusnya seantero dunia. Dalam pertemuan tersebut juga, beliau memberikan pesanan:\nJangan takut melakukan perubahan. Jangan kita selesa dengan kaedah kerja sekarang. Jangan kita bosan dengan kerja. Jagalah kreadibiliti dan kewibawaan sebagai ketua. Jagalah hubungan dengan staf. Jagalah akhlak. Bantulah DBP dan teruskan memartabatkan bahasa Melayu supaya bahasa Melayu akan terus maju.\nDalam perkembangan lain, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin juga berkesempatan meraikan pesara DBP dalam Majlis Jasamu Dikenang 2022 yang diadakan di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP pada 25 November 2022.\nSelepas majlis tersebut, staf DBP berkesempatan menyaksikan YBhg. Datuk Abang Sallehuddin membuat rakaman\u00a0terakhir pada kad perakam waktu sebagai warga DBP." "Perlis Menutup Kejohanan Woodball Terbuka Perlis dan Jemputan Antarabangsa 2022 Penuh Cemerlang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Pemain-pemain dan pasukan-pasukan dari Perlis menutup kalendar pertandingan woodball tanah air bagi tahun 2022 dengan kejayaan penuh cemerlang dan bergaya.\nBeberapa pasukan dari Perlis telah mengungguli tempat pertama daripada 12 kategori yang dipertandingkan pada Kejohanan Woodball Terbuka Perlis dan Jemputan Antarabangsa 2022 yang berlangsung dari 25 November 2022 hingga 27 November 2022 anjuran Persatuan Woodball Negeri Perlis bersama-sama Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Perlis.\nMenerusi kejohanan tersebut,\u00a0Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat bagi menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang di Dewan Semarak Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis di Arau pada petang semalam.\n\n\nPertandingan tersebut berlangsung dengan jayanya di Laman Woodball Kolej Matrikulasi Perlis di Arau, Laman Woodball Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis, Arau dan Laman Woodball Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra.\nSebagai rekod, Kejohanan Woodball Piala Dunia Ke-9 Tahun 2020 yang dirancang pada awalnya untuk diadakan di negeri Perlis tidak dapat dilaksanakan setelah dua kali ditangguhkan dari tahun 2020 atas sebab penularan pandemik COVID-19 dan juga kekangan pelaksanaan dari segi teknikal dan prosedur operasi standard (SOP) yang melibatkan negara-negara luar.\nSenarai juara bagi Kejohanan Woodball Terbuka Perlis dan Jemputan Antarabangsa 2022 seperti yang berikut:\nKategori:\u00a0Berpasukan Wanita Terbuka\nPasukan: Perlis Lion\nPemain:\n(i) Rosmawati Abidin\n(ii) Asmawana Aziz\n(iii) Nor Rinda Ramli\n(iv) Qistina Mohd Reffal\n\u00a0\nKategori: Berpasukan Lelaki Terbuka\nPasukan: Perlis Thunder\nPemain:\n(i) Suhaimi Ahmad\n(ii) Abu Hassan Adam\n(iii) Mohd Faizal Othman\n(iv) Zulkifli Said\n\u00a0\nKategori: Beregu Campuran Terbuka\nPasukan: UiTM Perlis\nPemain:\n(i) Bahrin Ismail\n(ii) Nor Azah [email\u00a0protected]\n\u00a0\nKategori: Beregu Wanita Terbuka\nPasukan: Perlis Lion\nPemain:\n(i)\u00a0 Qistina Mohd Reffal\n(ii) Nor Rinda Ramli\n\u00a0\nKategori: Beregu Lelaki Terbuka\nPasukan: Perlis Fighters\nPemain:\n(i)\u00a0 Azizan Zainol\n(ii) Mohd Zohri Abdullah\n\u00a0\nKategori: Perseorangan Remaja Lelaki\nPasukan: Perlis Junior Woodpecker\nPemain: Muhamad Aiman Haizad Ariff Fadilah\n\u00a0\nKategori: Perseorangan Lelaki Terbuka\nPasukan: Perlis Thunder\nPemain: Zulkifli Said\n\u00a0\nKategori: Perseorangan Veteran Wanita\nPasukan: Kelab Woodball Bandar Diraja Pekan\nPemain: Aniah Hassan\n\u00a0\nKategori: Perseorangan Veteran Lelaki\nPasukan: Kelab Woodball Kuala Rompin\nPemain: Zahir Mohd Zain\n\u00a0\nKategori: Perseorangan Remaja Perempuan\nPasukan: Terengganu\nPemain: Putri Maisarah Khairul Nizat\n\u00a0\nKategori: Perseorangan Wanita Terbuka \nPasukan: Persatuan Woodball Malaysia (MWA)\nPemain: Loo Lee Lee\n\u00a0\nKategori khas: Gate in One bagi Lelaki\n(i)\u00a0 \u00a0Pasukan: Majlis Daerah Rompin\nPemain: Farizul Alkmal Rahman\n(ii)\u00a0 Pasukan: Kelab Woodball Metropolitan\nPemain: Mohd Sharil Hashim\n(iii) Pasukan: Kelab Woodball Kuala Rompin\nPemain: Zahir Mohd Zain\n(iv) Pasukan: JUPEM Perlis\nPemain: Jafri Jusoh\n(v) Pasukan: Politeknik Banting\nPemain: Danial Woo Ikhwan\n\u00a0\nKategori khas: Gate in One bagi Perempuan\n(i) Pasukan: Kelab Woodball Bandar Diraja Pekan\nPemain: Datin Widilestari\n(ii) Pasukan: Perlis Ultras\nPemain: Rofidah Abd Samad\n(iii) Pasukan: Pulau Pinang\nPemain: Alya Umairah Amran" "Kejohanan Olahraga SK Bandar Puteri Jaya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani \u2013 Sekolah Kebangsaan Bandar Puteri Jaya (SKBPJ)\u00a0mengadakan Kejohanan Olahraga Tahunan Kali ke-6\u00a0dengan\u00a0kerjasama Lotus Bandar Puteri Jaya (BPJ)\u00a0di padang sekolah SKBPJ, semalam.\nPenganjuran kejohanan tersebut telah dirasmikan oleh pengurus\u00a0BPJ, Rizal Abd. Rauf. Menariknya, terdapat pelbagai acara sukan yang dipertandingkan\u00a0bermula pada pukul 7.30 pagi hingga 2.00 petang.\nUrusetia kejohanan itu, Luqman Hakim Muhamad Ghazali berkata, dua pelajar SKBPJ, Wan Muhammad Naqib Wan Wan Zainal, 12, dipilih sebagai olahragawan, manakala olahragawati ialah Nur Fitrah Nashua Shamsudin, 12, masing-masing dari Rumah Bendahara.\nJohan keseluruhan dimenangi oleh Rumah Laksamana. Olahragawan Harapan dimenangi Ahmad Rayqal Ustazanis, 11, dari Rumah Bendahara, manakalah Olahragawati Harapan dimenangi oleh Nur Iman Safiyya Azhar, 11, dari Rumah Laksamana.\nSementara itu, Olahragawan Tunas dimenangi oleh Muhammad Asri Izzudin Baharudin, 10, dari Rumah Laksamana dan Olahragawati Tunas dimenangi oleh Syazatul Safiyya Ahzan, 10, dari Rumah Temenggung.\nDalam perkembangan yang sama, Khemah Terbaik dimenangi oleh Rumah Syahbandar dan Perbarisan Terbaik ialah Rumah Temenggung.\nTerima kasih kepada semua pihak kerana memberi kerjasama, termasuk Guru Besar, Rosli Saman dan lain-lain hingga Kejohanan Sukan SK BPJ Kali Ke-6 tahun ini berjalan dengan lancar,\u201c kata Luqman Hakim." "Jadikan Woodball sebagai Acara Tahunan \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Sebanyak 243 orang peserta yang mewakili 19 buah pasukan dari negeri dan kelab di Semenanjung Malaysia dan satu pasukan dari Indonesia telah mengambil bahagian dalam Kejohanan Woodball Terbuka Perlis dan Jemputan Antarabangsa 2022 dari 25 hingga 27 November.\nKejohanan tersebut dianjurkan oleh Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri (MOTAC) Negeri Perlis dengan kerjasama Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs).\nMajlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis,Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Dewan Semarak Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis pada petang semalam.\nMenyambut keberangkatan baginda ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC) Malaysia Norazman Othman dan Timbalan Presiden PWNPs, Zaharin Haris.\nDalam ucapan baginda selaku Penaung PWNPs, Tuanku Syed Faizuddin Putra berharap agar kejohanan sebegini akan terus berkembang dan diperkasakan melalui pelbagai pertandingan woodball yang turut melibatkan negara jiran, selain mempelbagaikan usaha meningkatkan taraf kesedaran sukan woodball, seperti penganjuran pertandingan persahabatan, bengkel, kursus di seluruh negara dengan penyertaan yang lebih banyak lagi dalam kategori remaja pada masa hadapan.\nTambah Tuanku Raja Muda lagi, kejohanan sebegini wajar dijadikan acara tahunan secara berterusan pada setiap tahun dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk menarik pelancong dari luar negara yang bukan sahaja untuk bertanding semata-mata, malah turut melawat negeri Perlis melalui pelancongan sukan.\nKejohanan kali ini mempertandingkan 12 jenis kategori dan dilangsungkan di tiga buah lokasi, iaitu di Laman Woodball Kolej Matrikulasi Perlis di Arau, Laman Woodball Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis, Arau dan Laman Woodball Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra." "Belia Malaysia Harumkan Nama Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRepublik Trinidad \u2013 Dua orang belia telah terpilih mewakili Malaysia ke Persidangan Parlimen Belia Komanwel Ke-11 bertempat di Port of Spain, Republik Trinidad dan Tobago pada 20 November hingga 24 November lalu anjuran Persatuan Parlimen Komanwel Caribbean, Atlantic dan Americas Region selaku tuan rumah.\nPersidangan tersebut telah dirasmikan oleh Speaker Dewan Senat Republik Trinidad dan Tobago, Bridgid Annisette-George semasa pembukaan rasmi sidang pertama pada pagi 20 November lalu.\nAhmad Alif Amri Ahmad Kawazi, 29 dan Siti Jamila Syuhada Jailani, 22, masing-masing telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan bagi pembentangan usul Remote Work Bill 2022 yang diadakan di Bangunan Parlimen, The Red House bersama-sama 54 orang wakil belia dari pelbagai negara Komanwel lain.\nMenurut persidangan tersebut, dua orang belia yang dipilih oleh Persatuan Parlimen Komanwel Malaysia adalah berdasarkan latar belakang dan pelibatan aktif mereka dalam komuniti dan organisasi.\nPenganjuran persidangan ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada golongan belia mengenai amalan demokrasi dan politik berparlimen.\nSiti Jamila Syuhada yang berucap selaku menteri bayangan Transformasi Teknologi mewakili\u00a0pihak pembangkang menyatakan keperluan ketersediaan jaringan teknologi dan perhubungan yang mampan dalam memastikan dasar bekerja dari rumah dapat dilaksanakan dengan jayanya.\nDalam hujahnya, beliau\u00a0menyebut mengenai kepentingan teknologi dan Internet masa ini dalam memastikan pihak majikan dan pekerja dapat menjalankan operasi kerja dengan baik dan lancar. Selain itu, beliau turut menekankan aspek infrastruktur teknologi perlu dibangunkan dan berfungsi dengan baik sebelum pelaksanaan kerja dari rumah dapat benar-benar dilaksanakan secara menyeluruh.\nSementara itu, Ahmad Alif Amri yang mewakili pihak kerajaan pula menyentuh tentang aspek faedah pelaksanaan empat hari bekerja seminggu bagi bidang pendidikan. Beliau dalam ucapannya menyatakan bahawa hasil kajian yang dijalankan oleh beberapa buah negara mendapati majoriti para guru amat bersetuju dengan dasar tersebut, malah\u00a0beranggapan ini merupakan satu daripada tawaran yang baik dalam meringankan bebanan kerja,\u00a0di\u00a0samping menjaga kualiti kesihatan mental.\nBeliau menegaskan bahawa pelaksanaan kerja empat hari seminggu turut dapat membantu golongan pelajar untuk menceburi dan bergiat aktif dalam aktiviti sukarelawan dan pembelajaran sepanjang hayat yang lain, serta dapat meningkatkan keupayaan diri yang bukan sahaja dari aspek akademik semata-mata. Pelajar universiti juga boleh menggunakan hari cuti yang ada untuk melakukan pekerjaan sambilan yang boleh membantu meringankan beban kewangan, di samping memberikan nilai tambah pengalaman kerja yang baik dalam profil resume mereka.\nMenurut penganjur lagi, peserta juga berpeluang melibatkan diri dalam sesi kaukus dan perbincangan bersama-sama mentor ahli parlimen belia daripada negara tuan rumah mengenai pengalaman politik dan demokrasi berparlimen, selain peranan media dalam politik.\nMengulas lebih lanjut mengenai sesi perbahasan yang berlangsung selama tiga hari tersebut, mereka mendapat kata sepakat untuk meluluskan usul yang dibentangkan dengan pindaan, iaitu mengenai pengurangan hari bekerja kepada empat hari seminggu dan perlaksanaan bekerja secara dari rumah.\nKedua wakil negara juga turut berpeluang memperkenalkan budaya Malaysia dengan mengenakan pakaian baju Melayu dan baju kurung semasa pembukaan rasmi sidang berlangsung. Menariknya, mereka berdua berjaya mendapatkan perhatian media negara tuan rumah apabila gambar mereka berpakaian nasional dipaparkan dalam laporan media surat khabar tempatan.\nPerbahasan penuh boleh disaksikan di saluran YouTube Parliament of Trinidad and Tobago." "Usaha Sama KPM-Gardenia Pupuk Kesedaran Remaja mengenai Kesihatan Fizikal dan Mental\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. menjalinkan kerjasama bagi memupuk kesedaran dalam kalangan remaja mengenai kepentingan mengutamakan gaya hidup sihat yang menyeluruh dari segi fizikal dan mental melalui penganjuran Pertandingan Lukisan Mural \u201cMinda Sihat, Cergas Fizikal\u201d, Serlahkan Keceriaan Bersama Gardenia QuickBites.\nMenurut Timbalan Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, KPM, Encik Cyril Christopher Singham, penganjuran program ini menggabungjalinkan kesihatan mental dan fizikal kerana kepentingan kesihatan mental dan emosi adalah sama pentingnya dengan kesihatan fizikal. Kata beliau, \u201cDengan kesihatan mental yang mantap, kita akan berasa seronok dan gembira.\u201d\nTidak dapat dinafikan melalui fizikal dan mental yang sihat akan menyumbang kepada kecemerlangan akademik.\nKetika merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah \u201cMinda Sihat, Cergas Fizikal\u201d, Serlahkan Keceriaan Bersama Gardenia QuickBites di sebuah hotel di ibu negara pada petang tadi, Encik Cyril turut berkata, \u201cBerdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, iaitu kajian yang dijalankan setiap lima tahun sekali mendapati seorang daripada lapan remaja yang berusia antara 10 hingga 19 tahun di negara ini berdepan dengan gangguan mental. Laporan NHMS juga mendapati terdapat kira-kira 424 ribu remaja di negara ini berdepan dengan masalah mental, namun kebanyakannya tidak tampil mendapatkan bantuan.\u201d\nPertandingan ini bukan sahaja dapat meningkatkan kreativiti murid, tetapi juga menggalakkan mereka untuk melakukan aktiviti ringkas dan sihat jika mereka berasa diri berada dalam keadaan tertekan.\n\u201cLukisan merupakan salah satu bentuk aktiviti fizikal untuk murid melepaskan tekanan. Murid juga dapat menggilap kemahiran sosial dalam kalangan mereka. Aktiviti ini juga merupakan peluang untuk murid bercampur dan bergaul secara sihat,\u201d jelas Encik Cyril.\nDalam pada itu, Pengurus Pemasaran Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd., Puan Lavinia Anthony berkata, \u201cProgram pada kali ini merupakan program kali pertama kami yang menekankan kesedaran mental melalui pelaksanaan aktiviti berskala besar ini dengan penuh makna.\u201d\n\u201cGardenia QuickBites turut berbesar hati kerana dapat memberikan saluran untuk melepaskan ketegangan atau tekanan yang mungkin dialami oleh para pelajar melalui aktiviti yang boleh merehatkan minda seperti melukis mural. Pada masa yang sama, aktiviti seumpama ini bukan sahaja dapat memupuk semangat kerjasama dan hubungan silaturahim dalam mencerna idea malah menyerlahkan kreativiti dan mencungkil bakat terpendam,\u201d jelasnya.\nKami yakin aktiviti sebegini dapat melahirkan rasa ceria dan mewujudkan memori berkekalan yang bertepatan dengan tema Gardenia QuickBites, iaitu #serlahkankeceriaanbersamagardeniaquickbites.\nPertandingan Lukisan Mural \u201cMinda Sihat, Cergas Fizikal\u201d, Serlahkan Keceriaan Bersama Gardenia QuickBites berjaya mencatat sejumlah 108 ribu penyertaan dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan guru dari seluruh Semenanjung Malaysia yang melibatkan empat zon utama \u2013 Zon Pusat, Utara, Selatan dan Pantai Timur.\nPertandingan lukisan mural tersebut melabuhkan tirainya dengan mengumumkan pemenang tempat pertama, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Ria Jaya, Kedah; diikuti dengan SMK Presint 9 (2), Putrajaya di tempat kedua; dan SMK Tan Sri Jaafar Albar, Johor di tempat ketiga. Sementara itu, tiga buah sekolah memperoleh hadiah sagu hati, iaitu SMK Dato\u2019 Razali Ismail, Terengganu; SMK Jalan Kota Tinggi, Johor; dan SMK Taman Medan, Selangor. Setiap pemenang menerima hadiah berupa wang tunai, plak dan sijil penghargaan." "Pemerkasaan Bahasa Melayu melalui Debat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPontian \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja dan Bahagian Pendidikan Menengah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) menganjurkan Pertandingan Debat MRSM Se-Malaysia yang mempertandingkan 51 buah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Se-Malaysia bagi merebut Juara Pertandingan Debat MRSM Se-Malaysia.\nPengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Tuan Haji Abd Manab Abdul Majid dalam ucapan semasa perasmian Majlis Penutupan Pertandingan Debat MRSM Se-Malaysia menegaskan bahawa semua pihak perlu memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul, terutamanya dalam kalangan pelajar. Dengan kaedah ini, semangat cinta akan negara dapat ditingkatkan dan melahirkan generasi berilmu.\nPertandingan debat ini merupakan langkah yang boleh membawa pelajar kepada pemikiran yang kritis yang mampu membantu negara melahirkan pemimpin yang bijak berhujah bagi menyelesaikan masalah rakyat.\nMenurut penganjur, pertandingan ini bertujuan untuk memberikan ruang dan peluang kepada peserta yang terdiri dalam kalangan pelajar MRSM untuk menyampaikan idea bagi isu yang diperdebatkan dengan jelas dan bernas dalam bahasa Melayu dengan baik dan betul. Selain itu, pertandingan ini dapat meningkatkan kefahaman dan kesedaran yang meluas mengenai isu semasa dalam pelbagai aspek sama ada pada peringkat serantau mahupun sejagat menerusi penguasaan ilmu terkini.\nPertandingan ini juga mendidik peserta untuk berkomunikasi dan menyampaikan huraian berserta bukti terhadap hujah yang disampaikan.\nDengan membawa tema \u201cDebat Perintis Generasi Berilmu\u201d, juara bagi kategori bahasa Melayu pada kali ini berjaya disandang oleh MRSM Tun Ghafar Baba yang menerima hadiah berupa wang tunai RM2700 berserta sijil dan buku terbitan DBP. Bagi tempat kedua, dimenangi oleh MRSM Taiping, manakala bagi kategori pasukan, MRSM Sultan Azlan Shah dan MRSM Parit, Perak berjaya memasuki peringkat separuh akhir.\nTurut hadir bersama-sama dalam majlis perasmian penutupan ini ialah Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato\u2019 Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP." "Raja Muda Perlis Perkenan Menyampaikan Majlis Istiadat Konvokesyen 17 UniMAP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra \u2013 \u201cUsahakan diri untuk menjadi yang terbaik dalam semua perkara yang diceburi. Sesungguhnya untuk menjadi yang terbaik dalam semua perkara atau urusan adalah perkara yang sukar, namun perkara ini perlu dilakukan.\u201d\n\u201cSebarang kegagalan itu pula merupakan perkara biasa. Kita perlu belajar daripada sebarang kegagalan tersebut agar tidak mengulangi kesilapan dan terus melangkah ke hadapan.\u201d\nTitah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berangkat menyempurnakan Sidang Ketujuh Bagi Istiadat Konvokesyen 17 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, semalam.\nKeberangkatan tiba baginda disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Profesor Dato\u2019 Ts. Dr. Zaliman Sauli.\n\nSehubungan dengan itu, Raja Muda Perlis selaku Canselor UniMAP berkenan menganugerahkan folder ijazah kepada sebanyak 331 orang graduan dalam jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) bagi Kejuruteraan Bahan, Kejuruteraan Bioproses, Kejuruteraan Polimer, Kejuruteraan Metalurgi dan Kejuruteraan Biosistem.\nDalam perkembangan yang sama, penganugerahan ini turut disampaikan kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Kepujian) bagi Teknologi Makanan, Proses Kimia Industri dan juga Bioteknologi Industri.\nRaja Muda Perlis turut menasihati agar semua graduan untuk meningkatkan daya tumpuan dan kebolehan mengikut kemampuan diri.\n\u201cOrang yang berjaya ialah orang yang memberikan fokus terhadap perkara yang mereka mampu kawal. Lakukan perubahan kepada diri sendiri dahulu kerana kita hanya mempunyai kawalan sepenuhnya kepada diri sendiri. Insya-Allah kita akan mampu membawa perubahan kepada mereka yang di sekeliling kita pula,\u201d pesan Raja Muda Perlis ketika mengakhiri ucapan dalam Majlis Istiadat Konvokesyen 17." "UUM Terapkan Amalan dan Budaya Pengauditan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAlor Setar \u2013 Bagi meningkatkan sistem pengurusan berkualiti, Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok selesai melakukan kerja Audit SIRIM MS ISO 9001 dan majlis penutupan yang berlangsung di Dewan Senat UUM Kedah pada 30 November yang lalu.\nKerja pengauditan ini membabitkan sebanyak tujuh orang juruaudit yang diketuai oleh Pasukan audit SIRIM QAS, Dr. Shahanif Hassan.\nNaib Canselor UUM, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, sijil hanya layak dikeluarkan setelah semuanya selesai.\n\u201cPihak UUM berpuas hati dengan kerja pengauditan yang dijalankan oleh pihak SIRIM itu.\u201c\n\u201cUUM amat gembira jika dapat menerima semula Pensijilan MS ISO 9001 bagi tempoh tiga tahun lagi,\u201d katanya ketika ditemui.\n\nProfesor Dr. Haim Hilman berpandangan bahawa pensijilan tersebut adalah sukar untuk diperoleh khususnya bagi jabatan di universiti.\nNamun begitu, beliau menzahirkan rasa syukur berhubung dengan penilaian pada kali yang dilihat lebih baik daripada sebelumnya. Perkara ini mencerminkan penyusunan pengurusan UUM yang baik dan sistematik.\n\u201cTerima kasih kepada semua jabatan dan pusat pengajian yang terlibat dalam usaha memberikan komitmen penuh kepada pasukan juruaudit SIRIM sepanjang dua hari berada di sini,\u201c kata beliau.\nSementara itu, Dr. Haim Hilman berkata, sepanjang pasukan itu berada di universiti, pihak UUM sentiasa terbuka dan menerima apa-apa sahaja cadangan dan teguran yang dikemukakan oleh pihak SIRIM bagi penambahbaikan sistem pengurusan berkualiti di universiti berkenaan.\nBeliau menambah, persediaan staf bagi menerima siri lawatan audit sama ada audit pemantauan atau audit pensijilan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada amalan dan budaya kerja di UUM dari semasa ke semasa." "Kata Tunggal Ganda Separa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata tunggal ganda separa ialah kata tunggal yang terdiri daripada kata dasar dengan gandaan di hadapan. Kata ganda ini meliputi sesetengah kata nama, kata kerja dan kata tugas tugas. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\nKata nama (KN)\nsiku \u2013 sesiku (KN)\npijat \u00a0 \u2013 pepijat (KN)\ntikus \u2013 tetikus (KN)\n\u00a0\nKata kerja (KK)\nsekat \u2013 sesekat (KN)\nsentuh \u2013 sesentuh (KN)\nsondol \u2013 sesondol (KN)\n\u00a0\nKata tugas (KT)\nsudah \u2013 sesudah (KT)\nsungguh \u2013 sesungguhnya (KT)\nbaru \u2013 bebaru (KN)\n\u00a0\nGandaan itu merupakan suku pertama kata dasar yang bunyi vokalnya dikekalkan sebagai bunyi vokal e pepet atau dilemahkan bunyi vokalnya untuk menjadi bunyi vokal e pepet. Sila lihat contoh yang berikut:\nKata nama tunggal mendukung makna dan fungsi yang pelbagai. Dalam bahasa Melayu, hanya terdapat dua kata nama tunggal yang mendukung maksud jamak sesudah kata dasar digandakan secara separa, iaitu kata daun\u00a0dan pohon. \u00a0Sila lihat contoh yang berikut:\ndedaun:\u00a0\u00a0 pelbagai jenis daun, seperti daun\npepohon: pohon-pohon\nKata \u201cdedaun\u201d\u00a0boleh ditambah imbuhan untuk menjadi \u201cdedaunan\u201d\u00a0yang bererti \u201cdaun-daunan\u201d, iaitu pelbagai jenis daun.\nDengan proses penggandaan separa, kebanyakan kata nama tunggal yang merupakan kata umum untuk kegunaan biasa berubah untuk menjadi kata istilah yang digunakan dalam bidang khusus. Selain itu, penggandaan tersebut mungkin melibatkan perubahan dari segi golongan kata. Sila lihat contoh yang berikut:\n\u00a0\n1a. \u00a0tingkat: jendela (KN)\n1b. \u00a0tetingkat: kawasan bersegi empat pada tabir paparan komputer\n(KN)\n\u00a0\n2a. \u00a0sentuh: kena sedikit (KK), sejenis tumbuhan (KN)\n2b. \u00a0sesentuh: alat yang menghubungkan sesuatu pengalir elektrik\ndengan yang lain (KN)\n\u00a0\n3a. \u00a0sondol: menolak atau menangkis dengan kepala (KK)\n3b. \u00a0sesondol : bahagian yang menonjol keluar dari roda atau aci untuk\nmengubah pergerakan (KN)\n\u00a0\n4a. \u00a0baru belum lama (KT), baru, baru-baru (KN)\n4b. \u00a0bebaru sejenis tumbuhan (KN)\n\u00a0\nKata ganda tunggal mungkin bervariasi dengan kata ganda semu dari segi maknanya. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\njejamu = jamu-jamu (tumbuhan)\nkekuda = kuda-kuda (alat)\nkekura = kura-kura (amfibia)\nsesibur = sibur-sibur (serangga)\nsesibar = sibar-sibar (serangga))\nbebaru = baru-baru (tumbuhan)\n\u00a0\nAda kalanya kata tunggal dengan kata tunggal ganda separa mendukung maksud yang berbeza, dan ada kalanya mempunyai kaitan makna. Sila lihat contoh yang berikut:\nMakna Berbeza\n1a.\u00a0 jari (Kamus Dewan Edisi 4\u00a0(KDE4), 2016: 611)\ni.\u00a0hujung tangan atau kaki yang beruas\nii. sukatan panjang\niii. \u00a0benda yang menyerupai jari\niv.\u00a0 sejenis tumbuhan\nv.\u00a0 sejenis binatang laut\n\u00a0\n1b.\u00a0\u00a0jejari\u00a0\u00a0(KDE4, 2016: 617)\ni. bilah besi yang menghubungkan pusat dengan lingkaran\nii. garis lurus dari pusat ke keliling bulatan\n\u00a0\n2.\u00a0 \u00a0\u201ctangga\u201ddengan \u201ctetangga\u201d\n2a. \u00a0tangga (KDE4, 2016:1598)\ni.\u00a0tempat tumpuan kaki yang bertingkat-tingkat\nii.\u00a0alat tumpuan memanjat\niii. peringkat\n\u00a0\n2b.\u00a0\u00a0tetangga\u00a0(KDE4, 2016: 1676)\ni. jiran\n\u00a0\nAda Kaitan Makna\n\u201ctamu\u201ddengan \u201ctetamu\u201d\n1a. tamu (KDE4, 2016: 1591)\ni.\u00a0orang jemputan\nii.\u00a0pelanggan\niii.\u00a0tokoh yang ditempatkan di sesebuah institusi untuk menghasilkan karyanya\niv. (Brunei) pasar sehari\n\u00a0\n1b. tetamu\u00a0\u00a0(KDE4, 2016: 1676)\ni.\u00a0tamu, orang jemputan\n\u00a0\n2. \u201ctampan\u201ddengan \u201ctetampan\u201d\n2a. tampan\u00a0\u00a0(KDE4, 2016: 1676)\ni.\u00a0elok\nii. layak\niii.\u00a0perawakan\niv.\u00a0roman (muka)\nv.\u00a0padan\nvi. corak\nvii.\u00a0rupanya\nviii. menahan\nix. talam, tetampan, penampan\n\u00a0\n2b. tetampan (KDE4, 2016: 1676)\ni. talam, tampan, penampan\nii. sejenis selampai yang disebaikan pada bahu" "Wanita Perlu Kawal Emosi dengan Bijak \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada hari ini berkenan berangkat merasmikan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) di Auditorium Syed Mahmood, Jabatan Kesihatan Negeri di Kangar.\nSeiring dengan tema \u201cWanita Sihat, Anggun, Berkarisma\u201d, Raja Muda Perlis bertitah:\nWanita perlu menguruskan emosi dengan bijak, seperti sentiasa berfikiran positif dan bersikap tenang. Wanita juga perlu diberi pendedahan dan kesedaran berkaitan dengan gejala ketidakseimbangan hormon yang memberikan kesan kepada gaya hidup dan penampilan serta pemilihan produk kosmetik kecantikan yang bersesuaian yang memerlukan pengawasan profesional kesihatan.\nTegas Raja Muda Perlis, \u201cSebagai usaha memartabatkan insan yang bernama wanita, penjagaan dan perlindungan diri seseorang wanita adalah sangat penting. Langkah pencegahan awal perlu dilakukan dengan mengamalkan gaya hidup sihat, iaitu mengambil makanan yang sihat, bersenam dan melakukan saringan kesihatan secara berkala.\u201d\nKeberangkatan tiba baginda yang diiringi anakanda keduanya, Sharifah Farah Adriana Jamalullail ke program anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, yang disambut oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Ismuni Bohari.\nTambah Tuanku Raja Muda merangkap Penasihat DiRaja YTF, \u201cWanita yang sihat mempunyai nilai yang tinggi dan menjadi aset dalam meningkatkan produktiviti negara.\nUsaha untuk memperkasakan kesihatan wanita kini menjadi semakin mencabar. Peranan wanita kini dilihat semakin meluas dan pelbagai tanggungjawab perlu\u00a0 digalas. Hal ini dikatakan demikian mampu menjejaskan amalan gaya hidup seharian wanita dan meningkatkan risiko kepada penyakit kronik.\nMajlis perasmian penutupan disempurnakan pada sebelah petangnya oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah." "Raja Puan Muda Perlis Merasmikan Majlis Penutupan Webinar YTF\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKangar \u2013 Majlis penutupan perasmian Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF): Wanita Sihat, Anggun, Berkarisma yang berlangsung di Auditorium Syed Mahmood, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) pada hari ini disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.\nKeberangkatan tiba Tuanku Raja Puan Muda merangkap Pengerusi YTF ke program tersebut telah disambut oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Ismuni Bohari.\nMenariknya program penganjuran Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Jabatan Kesihatan Negeri Perlis bersama-sama YTF pada kali ini, terdapat pelbagai topik yang dibincangkan. Antaranya termasuklah topik \u201cWanita dan Kesihatan\u201d yang dikongsi oleh Pakar Perubatan Keluarga, JKN Perlis, Dr. Aina Najmi Azizan; \u201cSihat Minda\u201d oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Ketua Sektor Kesihatan Mental, Pencegahan Kecederaan dan Keganasan; dan \u201cPenyalahgunaan Substans\u201d oleh Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Nurashikin Ibrahim.\nSementara itu, sesi Bual Bicara dengan topik \u201cWanita Sihat, Anggun Berkarisma\u201d dibincangkan oleh Pegawai Farmasi JKN Perlis, Ruhaya Muhamad Razali dan Pakar Pergigian Restoratif JKN Perlis, Dr. Ismaliza Ali, manakala Pakar Perubatan Keluarga JKN Perlis, Nur Khaniza Kaman sebagai moderator program.\nTerdahulu, dalam ucapan perasmian majlis, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah:\nSelain kecantikan dan anggun, wanita berkarisma merupakan satu impian. Wanita berkarisma merupakan wanita yang mempunyai kualiti daya kepimpinan dan daya penarik yang menjadikan mereka boleh mempengaruhi atau menjadi suri teladan kepada masyarakat.\u201d\n\u201cDalam erti kata lain, ciri wanita berkarisma yang dimaksudkan ialah percaya diri, rendah hati, bersikap positif, memiliki aura yang tersirat dan bersikap tenang dan lebih memilih untuk mendengar.\nPada penghujung program, sesi diteruskan lagi dengan tajuk \u201cRemaja Sihat Minda\u201d oleh Dr. Nurashikin dan disusuli sesi Bual Bicara \u201cPeluang Kerjaya dalam Institusi Kesihatan\u201d oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian) JKN Perlis, Dr. Ismuni, Pegawai Farmasi JKN Perlis, Dr. Khairol Niza Ahmad, Mohd Shainol Azmar Kassim dan Ketua Penyelia Jururawat Negeri, Lim Ai Choo. Sesi itu dimoderatorkan oleh Pegawai Kaunselor JKN Perlis, Mohd Afiq Ismail." "Kabinet Kerajaan Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u2013 Selepas menanti dengan penuh debaran, akhirnya teka-teki pembentukan Kabinet terjawab pada hari ini. Pemilihan tersebut pastinya mengambil kira pendapat, pertimbangan dan pandangan dari semua pihak yang terlibat dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan,\u00a0yakni diketuai oleh Perdana Menteri\u00a0Malaysia ke-10,\u00a0YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim.\nSetelah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Syah, maka terbentuklah barisan Kabinet Perpaduan Nasional 2022 ataupun yang dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan.\nYAB Dato\u2019 Seri Anwar menyatakan bahawa pembentukan kabinet ini selaras dengan beberapa prinsip\u00a0yang diterimapakai untuk merangkul semua kekuatan induk dan dukungan.\nKekuatan induk itu ialah Pakatan Harapan yang mencatatkan jumlah undi terbanyak dan Ahli Parlimen terbesar, diikuti oleh Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak.\nKetiga-tiga tunggak ini telah sepakat bukan sahaja dalam membentuk jemaah menteri, malah menetapkan beberapa dasar utama.\nKesemua Ahli Kabinet yang diumumkan dijangka akan selesai mengangkat sumpah di hadapan Yang Di-Pertuan Agong pada 3 Disember 2022 (esok), pukul 3.00\u00a0petang.\nPerdana Menteri Malaysia dan Menteri Kewangan: YAB Dato\u2019 Seri Anwar\nTimbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah: Dato\u2019 Seri Ahmad Zahid Hamidi\nTimbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komiditi:\u00a0Dato\u2019 Seri Haji Fadilah Yusof\nMenteri Pengangkutan:\u00a0Antohny Loke\nMenteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan:\u00a0Mohamad Sabu\nMenteri Ekonomi:\u00a0Mohd Rafizi Ramli\nMenteri Pembangunan Kerajaan Tempatan:\u00a0Ngar Kor Ming\nMenteri Pertahanan:\u00a0Mohamad Haji Hassan\nMenteri Kerja Raya:\u00a0Alexander Nanta Lingi\nMenteri Dalam Negeri: Saifuddin Nasution Ismail\nMenteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri:\u00a0Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz\nMenteri Pendidikan Tinggi:\u00a0Dato\u2019 Seri Mohamad Khalid Nordin\nMenteri Sains dan Teknologi:\u00a0Chang Lih Kang\nMenteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat:\u00a0Dato\u2019 Seri Nancy Shukri\nMenteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup: Salahudin Ayob\nMenteri di Jabatan Perdana Menteri\u00a0(Urusan Undang-undang dan Reformasi Institusi):\u00a0Dato Azalina Othman\nMenteri Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim:\u00a0Nik Nazmi Nik Ahmad\nMenteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi:\u00a0Ewon Benedict\nMenteri Luar Negeri: Dato Seri Zambry Abdul Kadir\nMenteri Pelancongan:\u00a0Dato\u2019 Seri Tiong King Sing\nMenteri Komunikasi Digital:\u00a0Ahmad Fahmi Ahmad Fadzil\nMenteri Pendidikan: Fadhlina Sidek\nMenteri Perpaduan Negara:\u00a0Agu Anak Dagang\nMenteri Agama:\u00a0Dato\u2019 Dr. Mohd Naim Haji Mokhtar, Ketua Hakim Mahkamah Syariah sekarang\nMenteri Belia dan Sukan:\u00a0Dato\u2019 Hannah Yeoh Tseow Suan\nMenteri Kesihatan:\u00a0Dr.\u00a0Zaleha Mustafa\nMenteri di Jabatan Perdana Menteri (Urusan Sabah dan Sarawak):\u00a0Armizan Mohd Ali\nSementara itu, urusan kerajaan khusus Kementerian Kewangan akan dibantu oleh beberapa penasihat yang tidak akan mengambil upah, yakni diketuai oleh Penasihat PETRONAS,\u00a0Tan Sri Mohd Hassan Marican." "DBP Sarawak-TVS Tingkatkan Kualiti Bahasa\u00a0Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHari ini,\u00a0Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, diketuai oleh Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak berserta rombongan mengadakan kunjungan kepada Pengarah Eksekutif Sarawak Media Group (SMG) Sdn. Bhd., Encik Sarbini Haji Hamdan.\nKunjungan tersebut bertujuan untuk mengetahui dan memahami lebih lanjut berkaitan dengan pengoperasian TV Sarawak (TVS) yang merupakan organisasi milik SMG dan bersiaran melalui Astro saluran 122 atau MyTV.\nDalam pertemuan tersebut,\u00a0Pengarah DBP Cawangan Sarawak menyuarakan hasrat untuk meluaskan rangkaian kerjasama dan memilih TVS \u00a0sebagai rakan sinergi yang bertepatan kerana kemampuan dan kepakaran yang dimiliki oleh TVS dalam bidang penyiaran.\nTVS dilihat sebagai sebuah agensi swasta yang dapat membantu DBP dalam mengembangkan karya sastera dan kearifan tempatan di Bumi Kenyalang. DBP\u00a0Cawangan Sarawak turut berharap TVS dapat membantu dalam mempromosikan kegiatan yang dilaksanakan oleh pihak DBP, khususnya dalam menyemarakkan aktiviti Dekad Bahasa Kebangsaan dan menggalakkan budaya membaca melalui kempen membaca yang akan dilaksanakan bersama-sama pada masa akan datang.\nTurut hadir mewakili kunjungan pihak TVS ini ialah Encik Rizal Zulkaplin selaku\u00a0Ketua Pegawai Eksekutif\u00a0dan\u00a0Encik Sarbini Haji Hamdan, Pengarah Eksekutif SMG serta\u00a0pengurusan TVS.\nPelbagai maklumat tentang pembangunan dan program yang dilaksanakan oleh TVS turut dikongsikan kepada pihak DBP bagi melihat ruang kerjasama yang dapat dilaksanakan bersama-sama. Pada\u00a0masa yang sama, pihak TVS yang bertindak sebagai media elektronik utama di Sarawak bersedia untuk bekerjasama dengan pihak DBP dengan menawarkan slot khusus bagi menyemarakkan aktiviti Dekad Membaca Kebangsaan.\nPihak TVS juga berharap\u00a0agar DBP dapat membantu mengadakan kursus kebahasaan kepada wartawan dan staf di TVS bagi meningkatkan kualiti bahasa kebangsaan dalam penyiarannya.\nPihak DBP juga telah dibawa melawat ke studio dan unit pengoperasian TVS untuk melihat sendiri perjalanan dan cara kerja pihak TVS dalam melaksanakan siaran dalam televisyen." "YB Fadhlina Sidek Dilantik sebagai Menteri Pendidikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Selepas menewaskan Datuk Mansor Othman yang mewakili parti Perikatan Nasional yang juga merupakan Ahli Parlimen Nibong Tebal dan penyandang kerusi Parlimen tersebut selama dua penggal, dengan majoriti undi sebanyak 16 293, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek daripada parti Pakatan Harapan dilantik sebagai Menteri Pendidikan di bawah barisan Kabinet yang diketuai oleh YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim. \nYB Fadhlina Sidek merupakan Senator Ahli Dewan Negara Lantikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bagi tahun 2021 hingga 2022. Beliau juga merupakan seorang peguam syarie dan pemilik Tetuan Fadlina Siddiq & Associates bermula pada tahun 2022 hingga kini.\u00a0\nJika disoroti latar belakang pendidikan YB Fadhlina, beliau mula mendapat pendidikan pada tahun 1996 di Sekolah Menengah Agama Batu 10, Cheras. Setelah itu, beliau melanjutkan pengajian di peringkat pengajian tinggi dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda LL (B) dan Ijazah Sarjana Muda LL (B) Syariah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 2002. Selepas itu, beliau melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana LL (M) di Universiti Kebangsaan Malaysia.\nPencapaian beliau sebagai seorang aktivisme juga sesuatu yang membanggakan. Beliau pernah mewakili Kes Melibatkan Menantu dan Cucu-cucu \u201cRasul Melayu\u201d pada tahun 2007. Kemudian, beliau mewakili Majlis Agama Islam Selangor (MAIS): Kes-kes Permohonan Pengisytiharan Bukan Lagi Seorang Islam yang juga merupakan kes paling kontroversi dari tahun 2011 hingga kini. Pada masa yang sama, beliau turut mewakili MAIS sebagai Panel Penilai Penjagaan Kanak-Kanak bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada tahun 2012.\nYB Fadhlina merupakan Pengerusi Pertubuhan Bayt Al-Rahmah bermula dari tahun 2020 hingga kini bahkan beliau juga merupakan seorang daripada Ahli Lembaga Pengarah As-Sahabah Urus Zakat Pulau Pinang bermula dari tahun 2021 hingga kini. \nAntara jawatan yang disandang oleh beliau ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Antirasuah Dewan Negara (2021-2022) dan menyandang jawatan Ketua Wanita Keadilan bermula pada tahun 2022 hingga kini. Beliau juga antara wakil rakyat daripada parti Keadilan yang lantang memperjuangkan kepentingan sejagat. \nJika gagasan politik perubahan dengan meletakkan maruah negara melebihi kepentingan peribadi dan populariti parti, justeru kita harus mahukan peralihan politik yang terangkul nilai keadilan yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat\u201d. \n(Kenyataan beliau dalam berita yang bertajuk \u201cPeralihan Politik: Pulihkan Maruah Negara sebagai Keutamaan\u201c, diterbitkan pada 5 Oktober 2022 oleh suarakeadilan.my)." "Kuasai Bahasa Asing, Tingkatkan Kebolehpasaran Graduan \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra\u00a0\u2013 Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyampaikan penganugerahan kepada graduan dalam Majlis Istiadat Konvokesyen 17 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)\u00a0Sidang Ke-4 di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra,\u00a0baru-baru ini.\nAntara inti pati yang dikongsikan, baginda berpesan:\nGraduan digalakkan untuk meningkatkan kemahiran dalam penguasaan bahasa asing.\nDengan memiliki kemahiran ini, graduan mampu memberikan nilai tambah untuk tampil lebih istimewa dan berdaya saing dalam pasaran, seterusnya mendapat kedudukan yang lebih baik dalam pasaran kerja.\nDalam\u00a0majlis tersebut, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan menyempurnakan penganugerahan kepada \u00a0334 orang\u00a0graduan daripada Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Kepujian) jurusan Sistem Elektronik, Rekabentuk Telekomunikasi Elektronik, Rekabentuk Rangkaian Elektronik, Elektronik Bersepadu dan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam Dengan Kepujian, Sarjana Muda Kejuruteraan Alam Sekitar (Kepujian) dan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Kepujian)\u00a0(Pembinaan).\nTurut hadir bersama-sama dalam majlis istiadat tersebut ialah anakanda bongsunya, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail yang disambut oleh Naib Canselor\u00a0UniMAP, Profesor\u00a0Dato\u2019 Ts. Dr. Zaliman Sauli." "Pelajar Kejuruteraan Awam USM Raih Anugerah Pelajaran DiRaja\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGeorge Town \u2013 Pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM), Muhammad Nasri Nasehir Khan menerima Anugerah Pelajaran DiRaja oleh Majlis Raja-Raja Malaysia bagi pelajar terbaik segala lapangan pada 3 Disember 2022 di Auditorium Dewan Budaya, USM. Majlis penerimaan anugerah ini disempurnakan perasmiannya oleh Pro Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan.\n\u201cAnugerah ini merupakan anugerah yang amat berharga kerana saya tidak pernah sangka akan menerima anugerah pingat berprestij ini,\u201d ujar pelajar terbaik Sarjana Muda Kejuruteraan Awam itu.\nMenurut beliau, cabaran terbesar sebagai seorang pelajar yang beliau alami adalah stigma orang sekeliling terhadap dirinya. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat segelintir masyarakat yang cuba merendahkan perjuangan dan matlamatnya, malah ada yang ingin mengambil kesempatan terhadap dirinya bagi membuktikan beliau mampu memecahkan rekod pelajar terbaik dengan purata PNGK 4.00 hingga ke tahun akhir.\nDengan komitmen yang menggunung, berkat doa, usaha dan sokongan daripada ibu bapa, pensyarah dan rakan-rakan, Muhammad Nasri berjaya peroleh purata PNGK 4.00 bagi jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam. Pencapaiannya ini melayakkan beliau menerima Anugerah Pelajaran Diraja oleh Majlis Raja-Raja, Hadiah Pingat Emas Universiti Sains Malaysia kepada pelajar tahun akhir terbaik bagi Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) dan Hadiah Buku Universiti Sains Malaysia kepada pelajar tahun akhir terbaik bagi Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian).\nBeliau juga mengatakan ramai yang tertanya-tanya akan rahsia kejayaannya, namun baginya sepanjang menuntut ilmu, beliau berpegang teguh dengan tiga hubungan utama, iaitu hubungan dengan Allah; hubungan dengan manusia, termasuklah ibu bapa, pemberi ilmu, orang sekeliling; dan hubungan dengan alam. Tambah beliau, kata orang alim, \u201cjika kita mengejar dunia, dunia akan jauh daripada kita, namun jika kita mengejar akhirat, dunia akan turut serta bersama-sama kita.\u201d Beliau turut menasihati agar pelajar tidak mengamalkan budaya menangguhkan kerja kerana perkara ini menjadi satu daripada asbab penghalang kejayaan dalam hidup." "Fokus Penguasaan Kecekapan Kerja melalui Penggunaan TMK \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra \u2013 Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat ke Sidang Keenam bagi Istiadat Konvokesyen 17 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang diadakan di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra, baru-baru ini.\nPada majlis tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa para graduan universiti perlu memfokuskan penguasaan kecekapan kerja melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) supaya mereka berupaya mempamerkan prestasi kerja yang baik dan pantas, meningkatkan kepuasan kerja mereka, dan sekali gus menyumbang kepada prestasi kerja yang cemerlang pada masa hadapan.\nSementara itu, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menyempurnakan penganugerahan folder Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dengan Kepujian Mekanikal, Pembuatan dan Reka Bentuk Produk serta Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Kepujian) Pemesinan, Sistem Pertanian, Pembangunan Produk dan juga Pemprosesan Bahan kepada sebanyak 341 orang graduan.\nYang turut sama berangkat ialah anakanda kedua baginda berdua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail." "Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek Mulakan Tugas Rasmi di KPM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Susulan pelantikan baharu kabinet Kerajaan Perpaduan baru-baru ini, Menteri Pendidikan antara menteri yang menjadi tumpuan ramai sementelah sektor itu memainkan peranan penting dalam memenuhi aspirasi negara dalam konteks pembangunan pendidikan.\nBertempat di lobi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),\u00a0Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, 45 tahun, mengimbas kad perakam waktu\u00a0kira-kira pada pukul 9.00 pagi tadi sebagai simbolik memulakan tugas rasmi beliau di KPM.\nSesi tersebut turut disaksikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) KPM, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), YBhg. Dato\u2019 Haji Pkharrudin Haji Ghazali.\nMenurut KPM, pelantikan Menteri Pendidikan pertama wanita akan membuka lembaran baharu kepada sistem pendidikan negara.\nDengan pelantikan ini, KPM yakin bahawa beliau dapat meneruskan kesinambungan dalam usaha memacu transformasi pendidikan ke tahap yang lebih tinggi demi pembangunan intelektual pewaris negara.\nTerdahulu sebelum aktif dalam bidang politik, beliau merupakan seorang aktivis dan peguam dalam literasi undang-undang keluarga Islam, serta hal kebajikan kanak-kanak.\nPada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), YB Fadhlina merupakan Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita PKR yang pertama kali dicalonkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding di Parlimen Nibong Tebal dan berjaya menewaskan penyandang, Datuk Mansor Othman yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 16 293 undi." "DBP Wilayah Timur dan Jabatan Penyiaran Kelantan Kukuhkan\u00a0Kerjasama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) telah mengadakan kunjung hormat ke Jabatan Penyiaran Kelantan bagi memperkukuh jaringan kerjasama kebahasaan dan kesusasteraan bagi tahun 2023.\nPertemuan ini dihadiri oleh Puan Ariza Che Ismail, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dan Encik Wan Azhan Wan Hamat, Pengarah Jabatan Penyiaran Kelantan. Turut hadir sama ialah Encik Muhamad Khairunizam Abdul Salam, Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Kelantan dan pegawai kanan DBPWT.\nMenyorot kembali sejarah kerjasama antara DBPWT dengan Jabatan Penyiaran Kelantan, khususnya Radio Malaysia Kelantan FM yang sememangnya telah terbina sekian lama, yakni sejak penubuhan DBPWT lagi. Kedua-dua agensi ini mempunyai matlamat sama dalam usaha merealisasikan program bahasa dan sastera.\n\u201cKayanya Bahasa Kita\u201d\u00a0merupakan program yang mendapat perhatian pendengar tertinggi sejak tahun 2006 hingga kini. Rancangan ini dilakukan secara langsung di Radio Malaysia Kelantan FM pada setiap hari Khamis. Tujuannya adalah untuk meningkatkan pemahaman dan kecintaan masyarakat, khususnya generasi muda terhadap dialek Kelantan yang digunakan oleh generasi terdahulu agar terus terpelihara sebagai satu daripada elemen pengukuhan jati diri anak bangsa. Program\u00a0lain turut diadakan sebelum ini,\u00a0termasuklah Cakna Bahasa, Jendela Bahasa, Drama Radio Titian Mubarak, Indahnya Pantun, Kuiz Bulan Bahasa Kebangsaan dan Klip Peribahasa.\nBagi memperkukuhkan penganjuran program pada tahun 2023 akan datang di Radio Malaysia Kelantan FM, kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan program Kayanya Bahasa Kita dengan penerapan dan perbandingan makna dari segi bahasa Melayu standard dan istilah. Program lain turut diadakan, antaranya\u00a0termasuklah Ceria Bahasa yang memfokuskan kepada peribahasa, simpulan bahasa, makna, istilah dan Jawi.\nMengulas lebih lanjut, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk mengangkat karya penulis tempatan sebagai karya Drama Radio. Menurut Puan Ariza Che Ismail, program penyebaran bahasa dan sastera di radio bukan sahaja terbatas kepada pendengar tempatan, malah dengan kepesatan teknologi pintar membolehkan penyebaran bahasa yang disiarkan melalui radio turut boleh disebarluaskan ke seantero dunia apabila disiarkan secara langsung dan dikongsi menerusi media sosial,\u00a0seperti Facebook, Instagram, StreamYard, MyKlik, You Tube dan lain-lain.\nSumber foto:\u00a0Nor Baizura Ibrahim." "Melestarikan Bahasa Sukuan, Bahasa Daerah dan Bahasa Orang Asli\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBaling \u2013Program UNESCO: Melestarikan Bahasa Sukuan, Bahasa Daerah dan Bahasa Orang Asli telah dilaksanakan dengan jayanya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Program yang turut disokong oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ini diadakan di Kampung Orang Asli Lubok Legong, Baling Kedah dari 12 September 2022 hingga 15 September 2022.\nProgram yang memberikan tumpuan kepada bahasa Orang Asli Kensiu ini bertujuan untuk memantapkan rangkaian kerjasama DBP\u2013JAKOA dalam program kebahasaan serta memelihara bahasa tempatan sebagai warisan jati diri bangsa.\nTimbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Pengurusan) JAKOA, Encik Saiful Zahlan Muhammad Azmi dalam ucapan perasmian penutupan program berkenaan memaklumkan bahawa pihak JAKOA sudah merancang program ini sejak tahun 2021 tetapi beberapa kali ditangguhkan kerana pandemik COVID-19.\nProgram pemeliharaan bahasa daerah dan bahasa suku kaum masyarakat orang asli ini selari dengan peruntukan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) dan Dasar Pentadbiran Orang Asli 1961, yang juga merupakan sebahagian daripada program sasaran Pelan Strategik Kemajuan Orang Asli (PSKOA) 2016 hingga 2022. Pelaksanaan program ini penting bagi mendapatkan data leksikal untuk tujuan pendokumentasian tetapi lebih penting lagi untuk memberikan pendedahan dan pengalaman kepada pegawai JAKOA mendalami kerja-kerja penyelidikan di lapangan.\nProgram yang berlangsung selama empat hari ini turut diselitkan dengan pelbagai aktiviti seperti Pertandingan Eja dan Sebut dengan Betul, serta Pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik. Pertandingan ini diadakan untuk menyemarakkan lagi kecintaan terhadap negara dan menyuburkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat, khususnya dalam kalangan Orang Asli Kensiu di Kampung Lubok Legong. Program ini turut dimeriahkan lagi dengan nyanyian lagu \u201cJalur Gemilang\u201d dan \u201cKeluarga Malaysia\u201d oleh masyarakat setempat, khususnya oleh kanak-kanak.\nPengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa dalam ucapannya semasa majlis penutupan menyatakan bahawa objektif utama program ini adalah untuk memelihara \u00a0bahasa ibunda sebagai warisan jati diri bangsa.\nUmum mengetahui bahawa generasi masa kini kurang didedahkan dengan bahasa jati yang diwarisi daripada keluarga yang terdahulu. Justeru dengan adanya program seperti ini dapat memberikan peluang kepada generasi muda untuk mengenali dan mendalami bahasa jati masing-masing yang menjadi warisan turun-temurun.\nMengimbau sejarah pelaksanaan program UNESCO yang bermula sejak tahun 2014 hingga kini, DBP melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi telah diberikan kepercayaan oleh KPT untuk melaksanakan program yang dapat menepati aspirasi dan matlamat UNESCO, iaitu memelihara bahasa ibunda sesuatu etnik dan suku kaum melalui program berbentuk kajian bahasa. Antara kajian bahasa atau dialek yang telah dilaksanakan termasuklah dialek Terengganu, dialek Melayu Sarawak dan dialek Perak. Manakala kajian bahasa sukuan di Sabah dan Sarawak ialah bahasa Banjar, Bajau, Miriek, Bajau Samah, Tidung, Lundayeh, Melanau Mukah dan Dumpas. Kajian turut dilaksanakan pada bahasa Orang Asli Jakun, Semai, Jahai, Kanaq dan Semoq Beri.\nKajian lapangan yang melibatkan lima orang penyelidik dari DBP ini turut dibantu oleh lima orang penyelidik daripada pihak JAKOA, serta 10 orang informan dalam kalangan penduduk tempatan.\nSebanyak lima tema kajian dipilih dan bersesuaian dengan sosiobudaya dan sosioekonomi masyarakat tempatan seperti perubatan tradisional, kesenian dan kebudayaan, kraf tangan, haiwan dan pertanian.\u00a0 Seorang pakar penyelidik, iaitu Dr. Mohd Sharifudin Yusop turut diundang oleh DBP untuk memberikan bimbingan kajian lapangan yang dilaksanakan oleh pasukan penyelidik dari DBP\u2013JAKOA.\nSementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Lubok Legong, Encik Razali Kulim berkata, \u201cProgram seumpama ini amat dialu-alukan dan pihak kami sentiasa memberikan sokongan penuh kepada pihak luar untuk mengadakan kajian dan penyelidikan berkaitan dengan bahasa dan seumpamanya di kampung kami. Jika ada data kajian yang sudah diterbitkan oleh mana-mana pihak, kami berharap dapat diberikan satu salinan untuk simpanan kami, selain untuk dijadikan rujukan para pengkaji dan pelajar pada masa akan datang\u201d.\nMajlis penutupan program ini dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Pengurusan) JAKOA Malaysia, Encik Saiful Zahlan Muhammad Azmi, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa, Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, DBP, Encik Mohd Fadzli Tajuid, Pengarah JAKOA Negeri Perak dan Kedah, Encik Harulnizam Abd. Rahman, Ketua Masyarakat (Tok Batin) Kampung Orang Asli Lubuk Legong, Encik Razali Kulim serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli Lubok Legong, Encik Ubal Kulim.\nProgram\u00a0 yang dihadiri oleh 150 orang penduduk tempatan ini turut melibatkan wakil Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Baling, wakil Sekolah Kebangsaan Siong dan TABIKA KEMAS kampung tersebut." "Istiadat Konvokesyen 17 UniMAP Melabuhkan Tirai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra \u2013 Istiadat Konvokesyen 17 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kini melabuhkan tirai dalam Sidang Kelapan yang disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.\nBerangkat sama mengiringi baginda ialah anakandanya, Sharifah Khatreena Nuraniah dan Sharifah Farah Adriana.\nSebanyak 3158 orang graduan berjaya menamatkan pengajian mengikut jurusan masing-masing.\nTuanku Raja Puan Muda selaku Pro Canselor berkenan berangkat menyampaikan folder ijazah kepada 558 orang graduan yang terdiri daripada graduan lepasan Diploma dalam Kejuruteraan Elektrik, Mekatronik, Komputer, Mikroelektronik, Metalurgi dan Pembuatan.\nTurut disampaikan penghargaan kepada graduan Master Profesional dalam bidang Pengurusan Projek Pembinaan dan Pengurusan Fasiliti; Bacelor Profesional dalam Pengurusan Pembinaan dan Pengurusan Fasiliti serta Diploma Profesional bagi Penyeliaan Tapak Pembinaan, Pengurusan Fasiliti, Pengurusan Trafik Pembinaan dan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan Sistem Binaan Berindustri (IBS).\nDalam majlis yang sama, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor bertitah:\nSetiap graduan perlu mencari inisiatif sendiri untuk meningkatkan kemahiran melalui latihan semula, dan kemahiran silang atau cross-skilling dalam landskap pasaran kerja.\nCadang baginda, graduan boleh menyertai aktiviti sukarelawan dan kerja sampingan untuk membantu graduan bersikap lebih matang dalam setiap keputusan yang dilakukan pada waktu sekarang dan masa depan kelak." "PRU-15: Warga Emas 101 Tahun Terlepas Mengundi di Padang Serai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKulim \u2013 Kehangatan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) masih dirasai oleh pengundi, khususnya di kawasan Parlimen Padang Serai, tidak kira warga emas mahupun pengundi 18 tahun yang keluar mengundi bagi menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.\nMengulas lanjut berkaitan dengan PRU-15 di Parlimen Padang Serai, sebanyak enam orang calon bertanding seperti yang telah disenaraikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).\nAntaranya termasuklah, Dato Azman Nasrudin dari Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Hamzah Abd. Rahman, Pakatan Harapan (PH), Dr. Mohamad Sofee Razak, Barisan Nasional (BN), Dato C. Sivaraj, Parti Warisan Sabah (Warisan), Mohd Bakhri Hashim dan calon Bebas, Sreananda Rao.\nWalau bagaimanapun, seorang warga emas di Kampung Sidam Kanan, Padang Serai, Rahimah Hussain, 101, tidak terdaya untuk keluar mengundi pada kali ini.\nMenurut anak lelakinya, Yaacob Abdul Hamid, 64, ibunya tidak dapat mengundi kerana faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.\nSejak negara merdeka lagi, ibu tidak terlepas peluang untuk mengundi, meskipun semasa zaman Kapal Layar.\n\u201cNamun pada PRU-15 kali ini, dia hanya duduk di katil,\u201c katanya." "Asimilasi Bahasa, Adat dan Agama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBahasa merupakan alat komunikasi yang amat penting dalam menghubungkan seseorang atau sesuatu kumpulan dengan kumpulan lain. Interaksi awal bahasa antara masyarakat Cina Peranakan dengan masyarakat Melayu dapat dilihat seawal kedatangan Laksamana Cheng Ho ke Melaka. Mereka terdiri daripada masyarakat Cina Muslim yang berasal dari Pelabuhan Amoi atau Pelabuhan Xiamen di Wilayah Fujian. Sebahagian besar kuli dan awak-awak kapal berasal daripada etnik Hokkien telah memeluk Islam dan dikenali sebagai masyarakat Koay. Koay ialah satu keturunan \u201cSeah\u201d yang diberikan hak untuk datang ke Tanah Melayu pada masa itu. Disebabkan itu, selepas kejatuhan kesultanan Melaka, ramai pedagang dan awak-awak kapal daripada kaum Hokkien mengetahui tentang peta perjalanan di sepanjang Selat Melaka melalui lakaran peta yang dibuat semasa pelayaran Laksamana Cheng Ho apabila China membuka kembali pelabuhannya setelah lama ditutup kepada dunia luar.\nSebahagian besar pedagang dan imigran ingin datang ke Pulau Pinang apabila mendapat perkhabaran bahawa British memerlukan pekerja dan bahan-bahan perdagangan dari China. Maka bermula pada 1780-an hingga 1880-an, para imigran yang berhijrah ke Pulau Pinang hanyalah lelaki kerana Dinasti Qing tidak membenarkan imigran yang berhijrah membawa wanita dan anak-anak mereka. Situasi ini akhirnya menyebabkan mereka berkahwin dengan wanita tempatan dan berlakunya asimilasi budaya dan bahasa.\nAsimilasi bahasa Melayu Tanjong dengan bahasa Hokkien akhirnya menghasilkan satu intonasi nahu bahasa baharu kepada bahasa Hokkien terutamanya di Pulau Pinang. Boleh dikatakan banyak berlaku campuran bahasa Hokkien dengan bahasa Melayu Sumatera, Siam dan bahasa Melayu Mamak di Pulau Pinang. Pengenalan intonasi nahu ini akhirnya menghasilkan satu dialek baharu. Selain kaum Hokkien yang datang ke Pulau Pinang, kaum yang turut serta ialah Teochew yang datang berhijrah ke Kedah dan Perlis. Sebelum pembukaan Pelabuhan Singapura pada 1820-an, imigran perlu menggunakan Pelabuhan Singgora di Hatyai untuk sampai ke Tanah Melayu. Kemudian, mereka menggunakan jalan darat menuju ke Kedah sebelum melintasi Sungai Muda untuk ke wilayah Seberang Perai di bawah pemerintahan British. Maka, tidaklah pelik apabila nahu dialek Melayu Utara Kedah ada kalanya bercampur dengan nahu bahasa Melayu Sumatera dan nahu bahasa Melayu Mamak. Hal ini akhirnya membezakan antara dialek bahasa Cina Peranakan Hokkien Utara seperti Pulau Pinang dan Kedah dengan dialek bahasa Cina Peranakan Hokkien Pantai Timur seperti di Kelantan dan Terengganu, walaupun kedua-duanya dilihat mempunyai persamaan dari segi jangka waktu penghijrahan dan penetapan di negeri-negeri Melayu di bawah naungan Siam pada masa itu.\nBahasa Cina Peranakan di Pulau Pinang selalu bermula dengan suku kata \u201cAh\u201d dan bukan lagi berdasarkan nahu asal bahasa Hokkien di China. Perkataan asimilasi bahasa Cina Peranakan ini berlaku sewaktu interaksi di pasar jual beli kemudian merebak kepada kedai runcit dan menjual makanan. Perkara ini dapat dilihat apabila terdapat banyak Cina Peranakan membeli dan makan di kedai makanan Mamak atau Melayu Tanjung. Di sini berlakunya percampuran bahasa yang telah diseragamkan mengikut perubahan zaman dan masa. Interaksi ini telah pun berlaku sejak tahun 1780-an hinggalah kini. Oleh itu, tidak hairan keharmonian dan kerjasama antara masyarakat Melayu Tanjung, Pulau Pinang dengan masyarakat Cina Peranakan Pulau Pinang telah menjadi sebati sehingga dinamakan sebagai budaya Boria. Perbezaan bahasa Cina Peranakan dengan Cina Sinkheh juga diselaraskan seperti perkataan kampung, cabai, batu, kong atau dewa. Penggunaan istilah \u201ckong\u201c sebenarnya berasal daripada penggunaan nama \u201cdatuk\u201c. Datuk merupakan satu anugerah yang diberikan oleh masyarakat Melayu Tanjong ke atas pemimpin masyarakat dan kampung. Ada kalanya penggunaan perkataan \u201ckong\u201c ini disebut dalam perkataan Nato. Jika dilihat penggunaan bahasa Melayu Tanjong sudah sebati dengan masyarakat Cina Peranakan. Boleh dikatakan keseluruhan masyarakat Cina Peranakan lebih fasih berbahasa Melayu Tanjong daripada berbahasa Mandarin. Bahasa Hokkien yang digunakan oleh masyarakat Cina Peranakan Pulau Pinang adalah jauh berbeza daripada masyarakat Cina Peranakan Hokkien Kelantan. Golongan Cina Peranakan Hokkien Kelantan masih dipengaruhi dengan dialek Kelantan dan bahasa Siam. Walaupun wujud masyarakat Cina Peranakan Melaka tetapi bahasa Hokkien yang digunakan lebih dipengaruhi oleh bahasa Hakka dan Kantonis. Hal ini bermakna bahasa Cina Peranakan Hokkien lebih dipengaruhi oleh asimilasi bahasa Melayu Tanjong, maka dialek yang dibawa adalah berbeza. Contoh penggunaannya ialah kupang untuk nilai duit telah diterjemahkan sebagai Puad berbanding Kat di Kelantan.\nAsimilasi Budaya dan Agama dengan Melayu Tanjong\nPenggunaan Tok Kong boleh diertikan sebagai menggambarkan kedudukan seorang tokoh Melayu yang membuka Pulau Pinang, iaitu Dato Jenaton atau Nato Kong atau Tok Kong.\u00a0 Kepercayaan ini diketahui terbawa-bawa dalam kalangan buruh yang dibawa dari Tanah China pada abad ke-19 yang terdiri daripada mereka yang memuja Dewa Tanah dan semasa dalam perjalanan mereka memohon perlindungan serta dimurahkan rezeki dalam pekerjaan mereka. Perkataan \u201cDatuk\u201d digunakan dalam penyembahan budaya melalui agama Cina Peranakan kerana melambangkan kewujudan seseorang insan manusia yang pernah dihormati dan merupakan tokoh masyarakat yang mempunyai kekeramatan.\nApabila insan tersebut meninggal dunia, maka dikatakan insan tersebut mampu melindungi dan memberkati si penyembah daripada gangguan penunggu atau aura negatif. Penyembahan \u201cDatuk\u201c ini pula dilihat sebagai pelanjutan daripada kegiatan ini, iaitu roh-roh ini dipercayai mampu menjaga mereka di tanah baharu ini. Bahkan, ada juga yang berpendapat bahawa pemujaan roh-roh datuk ini merupakan kesinambungan daripada animisme yang dilakukan oleh warga setempat termasuklah masyarakat Melayu sebelum anutan Islam semakin kuat, dan kepercayaan yang lama ditinggalkan ini kemudiannya diserap oleh masyarakat Cina. Para pemuja ini menetapkan pengenalan atau identiti \u201cDatuk Gong\u201d ini dalam kalangan roh orang Melayu Islam kerana identiti ini dipercayai mempunyai kaitan dengan pengetahuan tuan milik roh terhadap kawasan setempat, lalu memberikan kuasa kesaktian yang mampu menolong para pemuja dalam segala urusan peribadi mereka. Dahulu, tempat roh \u201cDatuk\u201d yang disembah sekadar mampu ditandakan dengan kain kuning yang diikat baik di busut atau di batu tempat pujaan. Namun begitu, patung mula dibina mengikut kehendak sezaman, iaitu patung-patung roh yang disembah ini digambarkan lengkap dengan persalinan baju Melayu dengan songkok, kopiah atau tengkolok menyerupai seorang Melayu. Tokong yang dibina sebagai simbolik rumah untuk roh disembah juga dibina menyerupai rumah tradisi orang Melayu atau bangunan berkubah seumpama masjid menunjukkan asal usul roh Kong. Hal ini menyebabkan penggunaan nama ke atas kuil digantikan sebagai tokong dalam kalangan masyarakat Cina Peranakan.\nPemujaan roh-roh datuk ini datangnya daripada kaitan asal datuk-datuk ini yang dipercayai merupakan roh orang Islam yang meninggal dunia. Maka, barangan yang dianggap haram dalam Islam seperti babi dan arak tidak digunakan kerana dianggap tidak disukai oleh \u201cDatuk Haji Keramat\u201d. Para pemuja Na Tok Kong kebiasaannya mempersembahkan sepasang lilin putih, tiga batang setanggi serta kemenyan sebagai sembahan harian. Pada Khamis malam Jumaat yang dianggap waktu paling mulia pula, pemuja Na Tok Kong memberikan barangan khas berupa daun sirih lengkap dengan kapur sirih, potongan buah pinang, tembakau dan rokok daun serta buah-buahan. Keris juga dipersembahkan baik pada altar tokong mahupun diletakkan pada tangan patung-patung Datuk sembahan tertentu.\nSetiap Datuk ini memiliki \u201chari raya\u201c tersendiri apabila para pemuja akan mengurniakan pemberian paling istimewa kepada roh-roh ini. Masyarakat pemuja di negeri-negeri utara Semenanjung Melayu biasanya menyembelih ayam, kambing atau lembu pada hari ini; dagingnya dimasak kari kemudian dipersembahkan kepada Datuk bersama-sama nasi kuning.\nAkhirnya Nato Kong dianggap sebagai manusia yang mempunyai kuasa keramat. Melalui kekeramatan beliau, imigran Cina yang baru tiba di Pulau Pinang pada masa itu dipercayai dapat dilindungi daripada sebarang wabak atau penyakit. Malah, selepas beliau meninggal dunia, kepercayaan tentang kekeramatan insan ini masih berlaku apabila terjadinya doa yang makbul oleh masyarakat Cina untuk memohon keberkatan dan keselamatan hidup. Akhirnya, perkara ini menjadi satu asimilasi budaya agama antara masyarakat Cina dengan Melayu Tanjong dan perkara ini dapat dilihat menerusi panggilan setiap dewa yang berakhir dengan Kong, contohnya Tay Choo Kong, Tu Di Kong dan sebagainya. Adat kepercayaan penunggu ini sebenarnya telah lama diamalkan oleh masyarakat Melayu terutamanya Melayu Tanjong satu ketika dulu. Jadi tidak menghairankan Nato Kong selalunya disembah di belakang rumah atau di tepi sudut luar rumah yang dibina dengan altar. Penyembahan Nato Kong ini amat penting sebagai memperingati bahawa wujudnya satu kejadian penyakit yang berlaku di sebuah kampung Tanjong. Akhirnya masyarakat Cina Peranakan memohon pertolongan daripada Nato Kong dan atas sebab itu, penyakit tersebut berjaya dihapuskan. Maka lahirlah sebuah jalan bernama Datuk Keramat di Tanjung atau Georgetown.\nBudaya bersunat kaum lelaki selepas tiba waktu baligh turut diamalkan satu ketika dulu oleh masyarakat Cina Peranakan. Kebersihan diri amat penting terutamanya dalam upacara sembahyang. Oleh itu, wujudnya satu budaya bersunat untuk memastikan kebersihan kemaluan lelaki dititikberatkan apabila baligh. Malah, wanita Cina Peranakan yang datang keuzuran tidak dibenarkan sembahyang semirip dengan budaya Melayu yang mengecualikan wanita Islam daripada mengerjakan solat sewaktu uzur (haid). Penggunaan air teh atau air untuk dihidangkan kepada setiap dewa pada setiap hari dan bukannya samsu Cina adalah kerana pengaruh budaya Melayu Tanjong yang mengharamkan arak. Hal ini disebabkan penggunaan samsu Cina dilarang dalam adat penyembahan dewa atau Kong kerana memabukkan. Maka tidak menghairankan dalam jamuan raya dan perkahwinan, hidangan teh lebih bernilai daripada hidangan arak dan samsu.\nTidak terkecuali juga penggunaan air untuk membersihkan diri selepas mengeluarkan najis dan air kencing. Hal ini berbeza daripada masyarakat Cina asal yang menggunakan tisu dan kain untuk membersihkan diri daripada najis dan air kencing. Pengaruh Melayu Tanjong yang berasaskan nilai Islam telah diterjemahkan ke dalam kebersihan diri masyarakat Cina Peranakan daripada najis dan air kencing dengan menggunakan air bersih. Pengaruh telaga air dan timba juga berlaku dalam masyarakat Cina Peranakan. Boleh dikatakan sebelum wujudnya paip air, setiap rumah Cina Peranakan mempunyai telaga dan timba. Timba ini amat penting terutamanya untuk mengangkut air untuk bekalan minuman, membersihkan kaki sebelum masuk ke rumah dan juga untuk mandi. Hal ini bermakna tandas yang dibina oleh masyarakat Cina Peranakan satu ketika dulu terletak di luar rumah sama seperti konsep rumah Melayu Tanjong. Tandas ini dipisahkan antara tempat mandi dan tempat membuang najis dan air kencing. Di tempat mandi pula ditempatkan telaga yang terletak berasingan jauh dari tandas. Semasa mandi, wanita Cina Peranakan diwajibkan untuk memakai baju kemban dan tidak dibenarkan mandi berbogel.\nMalahan pengaruh nilai Islam dalam masyarakat Cina Peranakan turut kelihatan dengan setiap perbuatan perlu dimulakan dengan langkah kanan manakala langkah kiri dianggap sebagai perbuatan tidak baik atau mendatangkan sial. Amalan menggunakan tangan kanan untuk makan dan melakukan perbuatan baik turut diamalkan. Tandas di luar rumah juga dibina di sebelah kiri luar rumah manakala dapur dibina di sebelah kanan di dalam rumah. Dapur dianggap bermulanya rezeki dan tandas dianggap sebagai tempat tinggal penunggu. Oleh itu, tandas perlu berada di luar rumah dan di sebelah kiri kerana dianggap sebagai tempat yang kurang baik. Malah, langkah kiri dimulakan untuk masuk ke tandas dan langkah kanan digunakan untuk masuk ke dalam rumah bagi memohon keberkatan sesebuah rumah. Perkara ini bersesuaian dengan nilai ajaran Islam yang terdapat dalam masyarakat Melayu Tanjong, iaitu memulakan sesuatu dengan langkah kanan untuk kebaikan dan langkah kiri dianggap sebagai kurang beradab.\nMasyarakat Cina Peranakan turut menggunakan kayu sugi untuk membersihkan gigi sebelum adanya berus gigi dan ubat gigi. Penggunaan kayu sugi bagi membersihkan mulut bagi mengelakkan penyakit dan bau telah diamalkan oleh masyarakat Cina Peranakan. Berbeza dengan tradisi masyarakat di China pada masa itu yang menggunakan kayu kecil, kain dan air garam untuk membersihkan gigi. Pengaruh kayu sugi menandakan bahawa hampir setiap budaya Melayu Tanjong dalam soal kebersihan diri diamalkan oleh masyarakat Cina Peranakan tanpa disedari.\nWalau bagaimanapun, masyarakat Cina Peranakan kini semakin berkurangan selepas pengenalan satu bahasa dan satu budaya pada tahun 1990 oleh sekolah vernakular. Kebanyakan ibu bapa Cina Peranakan turut menghantar anak-anak mereka ke sekolah vernakular kerana tidak mahu menghilangkan identiti budaya Cina. Situasi ini akhirnya menghakis hampir semua aspek budaya asimilasi Cina Peranakan di Pulau Pinang. Hanya sebahagian kecil anak-anak Cina Peranakan yang memasuki sekolah kebangsaan dan bergaul dengan masyarakat Melayu masih mengekalkan sebahagian budaya dan adat Cina Peranakan. Arus pemodenan dan perkahwinan campur antara Cina Peranakan dengan masyarakat Melayu, India dan lain-lain juga boleh dikatakan banyak menghilangkan arus legasi budaya Cina Peranakan, terutamanya bahasa Cina Peranakan di Pulau Pinang yang bercampur antara dialek Hokkien dengan dialek bahasa Melayu Utara. Kehilangan sebahagian nahu dan suku kata bahasa campuran dialek Hokkien dengan dialek Melayu Utara ini juga disebabkan oleh penggunaan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar dalam masyarakat Cina selepas tahun 1990 dan juga digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular dan di bandar. Namun begitu, masih juga terdapat Cina Peranakan yang tinggal di kampung dan bersekolah kebangsaan yang menggunakan bahasa Cina Peranakan campuran kedua-dua dialek, tetapi pengguna kedua-dua dialek bahasa ini semakin pupus dan digantikan dengan penggunaan bahasa Melayu moden dan bahasa Inggeris. Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa satu ketika dahulu, golongan Cina Peranakan mampu membaca dan menguasai bahasa Jawi dan budaya Melayu Tanjong. Hasil daripada asimilasi ini, lahirlah pelbagai ilmu perubatan tempatan, ilmu pelayaran, ilmu masakan dan sebagainya. Namun, perkara tersebut telah melalui kepupusan apabila ramai tidak lagi menggunakan dan mengamalkannya dek tiada sesiapa yang mampu memahami budaya dan bahasa Cina Peranakan Pulau Pinang lagi. Akibatnya, negara kehilangan sejarah budaya, adat, bahasa dan asimilasi kehidupan Cina Peranakan Pulau Pinang dengan Melayu Tanjong satu ketika dahulu. Kehilangan ini juga turut menghapuskan khazanah ilmiah dan legasi warisan pemikiran golongan Cina Peranakan.\nDr. Iskandar Hasan Tan Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan." "Perkahwinan dan Penceraian Pascapandemik COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKetika dunia berada dalam fasa kemuncak pandemik COVID-19 pada tahun 2020, persekitaran sosioekonomi di seluruh negara memberikan kesan yang sangat hebat kepada kehidupan manusia. Rata-rata penduduk bumi terkesan dari segenap segi \u2013 emosi, mental dan rohani apatah lagi sekatan perjalanan di kebanyakan negara dikuatkuasakan sehingga mengakibatkan manusia terpaksa melalui norma baharu yang belum pernah dilalui sebelum ini.\nNorma baharu yang terpaksa dilalui oleh manusia ini memaksa setiap daripada kita mengubah tatacara kehidupan kita \u2013 daripada perhubungan yang terpaksa dibataskan, hubungan sesama ahli keluarga yang \u201cdisekat\u201d dek kerana sekatan perjalanan, cara kita bekerja, \u00a0dan kebebasan yang tidak lagi bebas kerana kita diikat dengan peraturan yang ditetapkan untuk memastikan rantaian COVID-19 dapat diputuskan \u2013 memaksa kita berhadapan dengan sesuatu yang tidak pernah kita bayangkan.\nTanpa mengenal usia, pangkat dan keturunan \u2013 semuanya terkesan. Hal ini dikatakan demikian kerana tiada seorang pun daripada kita, pada ketika itu yang mampu meramal kesan yang terpaksa dihadapi dan paling penting pascapandemik yang harus ditangani oleh setiap orang.\nMalaysia tidak terkecuali apabila ekonomi negara terjejas teruk. Banyak syarikat tempatan dan pelabur asing yang terpaksa gulung tikar, peluang pekerjaan semakin mengecil dan individu yang kehilangan pekerjaan tidak mampu mencari pekerjaan baharu. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memaksa rakyat untuk duduk di rumah dan keadaan ini mengakibatkan kehidupan rakyat semakin terhimpit.\u00a0\nSatu daripada kesan yang paling ketara akibat COVID-19 adalah apabila kes penceraian di Malaysia merekodkan peningkatan yang luar biasa sejak PKP dilaksanakan. Menurut Laporan Statistik Perkahwinan dan Penceraian Malaysia 2022, jumlah perceraian dalam kalangan rakyat di negara ini meningkat sebanyak 12 peratus kepada 56 975 pada tahun 2021 berbanding dengan 50 862 pada tahun sebelumnya.\nKetua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin menjelaskan bahawa kadar perceraian umum bagi lelaki meningkat daripada 6.5 kepada 7.2 per seribu populasi lelaki berkahwin berumur 18 tahun dan keatas, dengan kecenderungan serupa juga dilaporkan untuk wanita yang mencatatkan peningkatan daripada 7.0 kepada 7.7 per seribu populasi wanita berkahwin. Tambahnya, purata umur pengantin lelaki kekal pada 28 tahun, manakala purata umur pengantin wanita meningkat daripada 26 tahun kepada 27 tahun. \nAntara faktor yang mengakibatkan peningkatan penceraian ini yang perlu diakui oleh semua pihak termasuklah masalah kewangan kesan daripada pandemik COVID-19 yang melanda negara. Hal ini dikatakan demikian kerana banyak dalam kalangan ahli keluarga, terutamanya suami yang hilang punca pendapatan akibat diberhentikan kerja. Hal ini mengakibatkan pelbagai konflik wujud seperti suami tidak dapat menyediakan keperluan keluarga yang membawa kepada tekanan dan ketidaksefahaman yang berpanjangan yang pada akhirnya membawa kepada penceraian. Hal ini belum mengambil kira keperluan anak-anak dalam mendepani pandemik tersebut, khususnya apabila pembelajaran secara dalam talian mula diaplikasikan mengakibatkan keperluan terhadap peranti seperti komputer dan telefon pintar semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia yang berkeluarga dan mempunyai jumlah anak yang ramai. Hutang yang sedia ada dalam kalangan rakyat di negara ini, seperti rumah, kereta dan kad kredit semakin membebankan apabila hutang terus tertunggak dan tidak mampu diselesaikan meskipun moratarium ditawarkan oleh pihak bank. Bagi mereka yang menjalankan perniagaan, kesannya terpaksa ditanggung dengan tiada lagi tempat bergantung apabila peniaga tidak mampu membayar sewa premis perniagaan, perniagaan pula tidak dapat dijalankan, pekerja terpaksa diberhentikan dan pada akhirnya, perniaga gulung tikar. Hal ini sudah tentu bukan sahaja menjejaskan individu yang terlibat, tetapi institusi kekeluargaan individu berkenaan.\u00a0\nWalau bagaimanapun, pada tahun 2021 jumlah tersebut semakin memulih apabila jumlah kes perceraian di negara ini menurun sebanyak 7.1 peratus daripada 47 242 kes pada 2020 kepada 43 934 kes pada tahun 2021 mengikut Stastistik Perkahwinanan dan Perceraian Malaysia 2022 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia.\nDatuk Seri Dr. Mohd Uzir menjelaskan dalam satu kenyataan baru-baru ini sebagai berkata bahawa penurunan itu mungkin disebabkan oleh penutupan Mahkamah Syariah, Mahkamah Sivil dan Jabatan Pendaftaran Negara ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac 2020 hingga 21 November 2021, dan jumlah kes terhad yang boleh dikendalikan mahkamah berikutan prosedur operasi standard (SOP) ketika PKP Pemulihan.\nBeliau berkata tiga buah negeri yang mencatatkan penurunan paling tinggi bagi kes perceraian orang Islam ialah di Sarawak, diikuti Perlis dan Pulau Pinang. Walau bagaimanapun, bagi orang bukan Islam, kes perceraian meningkat sebanyak 30.4 peratus daripada 9419 pada tahun 2020 kepada 12 284 pada tahun 2021 dengan Selangor, Kedah dan Kuala Lumpur merupakan tiga buah negeri yang mencatatkan kadar perceraian bukan Islam yang tertinggi.\nSementara itu, Mohd Uzir berkata terdapat peningkatan sebanyak 15.4 peratus dalam jumlah perkahwinan, iaitu daripada 186 297 perkahwinan pada tahun 2020 kepada 214 943 pada tahun 2021.\n\u201cTiga buah negeri yang mencatatkan perkahwinan yang tinggi dalam kalangan orang Islam ialah Kelantan (61.3 peratus), diikuti Labuan (56.0 peratus) dan Putrajaya (37.3 peratus), manakala perkahwinan dalam kalangan bukan Islam menurun sebanyak 4.7 peratus daripada 40 845 pada tahun 2020 kepada 38 941 pada tahun 2021,\u201d katanya.\nTambah beliau, hampir lapan peratus jumlah perkahwinan pada tahun 2021 merupakan perkahwinan campuran, iaitu\u00a0 peningkatan 11.7 peratus daripada 14 448 perkahwinan dari tahun 2020 kepada 16 142 pada tahun lalu.\nMeskipun sudah dua tahun pandemik COVID-19 membadai dunia dan setiap satu daripada kita sedang berusaha melupakan peristiwa hitam yang menjejaskan keseluruhan kehidupan kita \u2013 kehilangan orang yang tersayang dan trauma yang masih berbaki dan tidak berpenghujung, kita pastinya tidak akan mampu melupakannya tetapi kita pasti mampu untuk belajar daripadanya \u2013 sehebat manapun sains dan teknologi ciptaan manusia, kita masih belum mampu meramal ujian yang akan datang. Namun begitu, setidak-tidaknya kita pernah melaluinya bersama-sama dan semua pengalaman itu pasti akan berguna untuk kita, bangsa dan negara untuk berhadapan dengan sebarang pandemik pada masa akan datang." "DBP Cawangan Sarawak dan Yayasan Tun Jugah Ketengahkan Karya Masyarakat Iban\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak mengadakan kunjungan hormat ke Yayasan Tun Jugah (YTJ) yang bertempat di Bangunan Tun Jugah, Kuching untuk mengetahui tentang peranan dan fungsi agensi tersebut dalam mengangkat karya masyarakat Iban di negeri Sarawak. Sebagai sebuah agensi yang memfokuskan kepada masyarakat Iban, YTJ dilihat mampu untuk bersama-sama DBP Cawangan Sarawak dalam memartabatkan karya-karya masyarakat Iban.\nKunjungan oleh pihak DBP Cawangan Sarawak yang diketuai oleh Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak disambut sendiri oleh YBhg. Tan Sri Datuk Amar Leonard Linggi Jugah, Pengerusi YTJ bersama-sama pengurusan tertinggi.\nDalam pertemuan tersebut, Pengarah DBP Cawangan Sarawak menyatakan hasrat untuk menjalinkan kerjasama dan memberikan komitmen dalam menyumbang kepakaran menerbitkan karya dalam bahasa Iban. Selain itu, kedua-dua pihak turut bersetuju supaya kerjasama ini dapat diperluas dalam bentuk penyelidikan yang meliputi bidang sastera, budaya dan kearifan tempatan masyarakat Iban.\nSelain itu, menyentuh tentang buku sastera Iban yang pernah diterbitkan oleh Biro Kesusasteraan Borneo (BLB) seperti Tiga Belas Bangkah Mimpi (1962), Raja Berani (1967) dan sebagainya, DBP Cawangan Sarawak dan YTJ bersetuju supaya penerbitan semula buku berkenaan dilakukan.\nKedua-dua pihak bersepakat bahawa usaha penerbitan semula itu kelak akan mengekalkan bahasa asal karya tersebut, ialah dalam bahasa Iban dengan menggunakan ejaan terkini DBP dan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.\nTan Sri Datuk Amar Leonard Linggi Jugah turut berharap kerjasama YTJ dan DBP Cawangan Sarawak pada masa hadapan dapat dipertingkatkan supaya penerbitan karya klasik Iban yang terdapat dalam simpanan YTJ dalam bentuk kaset, transkripsi dan sebagainya dapat didokumentasikan dalam bentuk buku untuk tatapan generasi masa hadapan. Selain itu, beliau turut menyentuh tentang kepentingan adat dan pantang larang dalam masyarakat Iban yang perlu dipertahankan dan dipelihara.\nRombongan DBP Cawangan Sarawak turut diiringi oleh Puan Melia Linggi untuk melawat ke Aras 4 yang menempatkan Pejabat Yayasan Tun Jugah dan beberapa buah galeri. Galeri tersebut menempatkan bahan sejarah, maklumat tentang kaum Iban, tokoh pejuang Iban seperti Tun Jugah anak Barieng yang merupakan seorang negarawan yang terlibat dalam pembentukan Persekutuan Malaysia. Selain itu terdapat juga galeri tekstil Pua Kumbu, iaitu kain tenunan bercorak yang amat terkenal dan sinonim dengan masyarakat Iban.\nTurut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Pengarah Pengembangan Bahasa dan Sastera, Encik Ja\u2019afar Haji Hamdan, Pemangku Timbalan Pengarah Pembinaan dan Penyelidikan, Encik Abdul Rasid Haji Subet, Ketua Unit Penyelidikan Sastera dan Pelbagai Kaum, Puan Edith Sulie Bidas dan Ketua Unit Penerbitan, Puan Hajijah Haji Mainol.\nKunjungan ini diharap akan mengerat lagi hubungan antara DBP dengan pihak luar serta memperluas kerjasama antara DBP dan agensi-agensi di Sarawak dalam mengangkat karya sastera dan kearifan tempatan." "ACelo Komited Bantu SPRM Banteras Rasuah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSepang \u2013\u00a0Bersempena menyambut Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) kali ke-20, Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO)\u00a0Malaysia menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).\nMenurut ACeIO, hasratnya\u00a0bukan sekadar disambut baik oleh SPRM, malahan turut menawarkan sokongan dan komitmen dalam usaha membanteras rasuah di Malaysia.\nSebagai peneraju sambutan pada kali ini, ACeIO memilih untuk menyambut HARA melalui penganjuran Simposium dan Webinar Integriti dan\u00a0Antirasuah secara serentak di seluruh negara.\nDengan temanya \u201cMenyatukan Dunia Melawan Rasuah\u201d, ACeIO menggerakkan rangkaian strategiknya dan menawarkan pelbagai peluang untuk turut bersama menjayakannya.\nTahniah dan terima kasih diucapkan kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Yayasan Pahang dan Majlis Perbandaran Sepang (MPS)\u00a0yang sudi menjadi tuan rumah untuk sambutan kali ini.\n\u201cTahniah dan terima kasih juga kepada Maxis yang menerajui webinar dan menjadi hos program secara dalam talian kali ini.\n\u201cTahniah dan terima kasih juga kepada Persatuan Pegawai Penguatkuasa PBT Negeri Johor (PERSAJ)\u00a0yang turut menjayakan kelancaran pelaksanaan simposium di Menara MBJB.\nSekalung penghargaan juga dirakamkan kepada rakan strategik lain,\u00a0seperti DXN Sdn.\u00a0Bhd.\u00a0dan SMART Vending Sdn.\u00a0Bhd.\u00a0yang turut mengambil bahagian menjayakan sambutan. Penyertaan Maxis, DXN dan SMART Vending dalam menjayakan sambutan HARA hari ini pastinya membuka lembaran baharu penyertaan syarikat swasta dalam menjayakan agenda nasional.\nPenyertaan daripada pelbagai pihak dalam menjayakan sambutan HARA ini menjadi petanda jelas bahawa perjuangan SPRM dalam memerangi jenayah keji ini tidak bersendirian.\nSimposium dan Webinar Integriti dan Antirasuah tersebut menampilkan tokoh hebat daripada SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) bagi mengupaskan dua topik menarik, iaitu Liabiliti Korporat dan Insentif Pelepasan Cukai. Kedua-dua topik ini amat signifikan dengan tema sambutan HARA, malah turut mengambil kira inisiatif yang digariskan di bawah Pelan Anti Rasuah Nasional, termasuklah pengukuhan undang-undang antirasuah dan insentif galakan sebagai pengiktirafan kepada pengamal integriti.\nDalam program tersebut, topik Liabiliti Korporat tertumpu hal berkaitan dengan kepentingan majikan untuk bertanggungjawab terhadap tindak-tanduk pekerjanya dan perlu memainkan peranan dalam memastikan usaha pembudayaan integriti dan antirasuah terus subur dalam organisasi.\nBagi topik Insentif Pelepasan Cukai pula, tertumpu kepada menghargai mana-mana pihak khususnya sektor swasta dan korporat yang menyumbang kepada pelaksanaan program integriti dan antirasuah dalam masyarakat. Tanggungjawab korporat ini,\u00a0termasuklah menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pembudayaan integriti dan antirasuah terus subur dalam masyarakat.\nMengulas lanjut, pelibatan peserta adalah di luar jangkaan, yakni sebanyak 1000 orang yang mewakili Syarikat Multinasional (MNC), organisasi komersial, dan rakan integriti dari lokasi terpilih seluruh negara. Selain itu, penyertaan lebih 1000 orang lagi adalah daripada peserta dari Sarawak, Sabah dan Labuan.\u00a0Kehadiran dan penyertaan luar jangka ini petanda jelas bahawa obor perjuangan memerangi rasuah di negara tercinta ini terus menyala.\nDalam arus globalisasi dengan pelbagai kemelut yang melanda, semua pihak seharusnya lebih prihatin dan memikul tanggungjawab bersama dalam memastikan negara ini bebas daripada rasuah.\nSPRM tidak boleh lagi dibiarkan bersendirian dalam perjuangan ini. Semua pihak khususnya pengamal integriti,\u00a0termasuklah\u00a0pegawai ACeIO,\u00a0sama\u00a0ada di sektor awam mahupun\u00a0sektor swasta perlu sentiasa bersedia berjuang bersama-sama\u00a0SPRM.\nSesungguhnya perjuangan SPRM dalam memerangi rasuah perlu mendapat sokongan dan dorongan\u00a0kita semua. Perjuangan ini adalah perjuangan kita bersama kerana rasuah adalah musuh negara dan musuh kita semua.\nPenulis, Presiden Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACelo) Malaysia." "Kursus Pengucapan Awam Tunanetra Beri Galakkan kepada OKU\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Hari ini merupakan hari terakhir Kursus Pengucapan Awam anjuran Jawatankuasa Belia Persatuan bagi orang kurang upaya (OKU) yang cacat penglihatan di Kuching, berlangsung di Hotel Penview pada pagi tadi.\nKursus ini dilaksanakan dengan kerjasama Unit Pembinaan Bakat dan Kepakaran, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak. Seramai 32 orang ahli Persatuan Orang Buta Sarawak, termasuklah sukarelawan\u00a0telah menyertai kursus yang menampilkan Puan Dayang Norazan Kartini Pengiran Haji Zain sebagai pembimbing. Kursus ini bertujuan mempelajari teknik pengucapan awam yang lebih baik, di samping dapat meningkatkan keyakinan peserta untuk berucap di hadapan orang ramai.\nProgram ini berjaya menghimpunkan peserta dari Sibu, Miri dan Bintulu. Peluang keemasan ini turut melibatkan peserta daripada golongan tunanetra. Benarlah kata pepatah, \u201chendak seribu daya, tak hendak seribu dalih\u201d.\nBiarpun dalam keterbatasan penglihatan, semangat mereka untuk belajar tetap tinggi. Peserta program ini terdiri daripada ahli persatuan yang mempunyai latar belakang kehidupan dan pekerjaan yang berbeza, termasuklah guru, operator dan atlet.\nMelalui sesi suai kenal pada hari pertama program, peserta kelihatan amat teruja untuk memulakan aktiviti dan tugasan. Pembimbing menggunakan kaedah ini untuk menerapkan konsep komunikasi berkesan kepada peserta dengan memberikan komen atau kritikan terhadap gaya pengucapan yang mereka persembahkan.\nAntara aktiviti yang diadakan termasuklah Permainan Telefon Buruk, Latihan Sebutan, Latihan Suara dan Latihan Intonasi. Sebagai contohnya, ayat yang digunakan dalam latihan, termasuklah \u201cbuaya biawak buaian\u201d, \u201cgajah lalu lalang layu\u201d dan \u201ckakakku kata, kuku kaki kiri kakakku kaku. Kukikis-kikis kuku kaku kaki kiri kakakku\u201d.\nMereka diminta untuk menyebut ayat-ayat tersebut dengan mempamerkan emosi seperti gembira, marah dan sedih, dan menggunakan intonasi yang sesuai.\nSelain itu, pembimbing turut berkongsi tentang lima prinsip utama pengucapan awam, iaitu salam, syukur, maklum, harapan dan terima kasih dalam penyediaan teks ucapan. Rata-rata peserta menunjukkan peningkatan yang baik dalam ucapan sewaktu pembentangan pada hari terakhir program berbanding dengan sesi suai kenal pada hari pertama.\nTeknik pengucapan awam merangkumi bahasa badan, pengawalan suara dan penggunaan mikrofon turut diceritakan oleh pembimbing dengan menarik sekali.\nMajlis penutupan Kursus Pengucapan Awam pada hari ini dirasmikan oleh Encik Ronald Thomas Ronny Law, Pengerusi Persatuan bagi Orang Buta Sarawak Cawangan Kuching. Beliau amat berbangga terhadap penganjuran program khas untuk OKU penglihatan seperti ini dan menzahirkan sokongan padu untuk pelaksanaan program ini pada masa akan datang.\nMajlis diteruskan dengan ucapan oleh Encik Watson Manda, Pengerusi Jawatankuasa Belia Persatuan bagi Orang Buta Sarawak Cawangan Kuching. Kata beliau, \u201ckita (OKU penglihatan) juga mampu mencelikkan orang yang celik\u201d. Beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak DBP Cawangan Sarawak atas komitmen dan kerjasama yang diberikan dan menyatakan harapan agar program seperti ini terus mendapat bantuan dan dana daripada pihak pengurusan persatuan.\nPada masa yang sama, penyampaian cenderamata kepada pihak DBP Cawangan Sarawak dan pemilihan peserta terbaik lelaki dan wanita turut diadakan. Pemilihan peserta terbaik lelaki ialah Loh Wei Siong, manakala peserta terbaik perempuan pula ialah Norhasfalinda Hamdan." "Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 Dijadualkan Semula\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi siaran kenyataan media yang dibuat pada hari ini memaklumkan bahawa sesi persekolahan bagi Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 akan bermula pada 19 Mac 2023 hingga 9 Mac 2024 bagi Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu), manakala bagi Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya) dijadualkan pada 20 Mac 2023 hingga 10 Mac 2024.\nKPM membuat ketetapan untuk menangguhkan pembukaan sekolah bagi sesi persekolahan Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 yang dijadualkan sebelum ini, iaitu bermula pada 12 Mac 2023 bagi Kumpulan A dan 13 Mac 2023 bagi Kumpulan B berdasarkan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 2 Tahun 2021: Sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2023 dan Kalendar Akademik Sesi 2022/2023 untuk Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan supaya pelaksanaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dapat dilaksanakan dengan lancar.\nBerdasarkan kenyataan media, KPM turut memaklumkan bahawa:\nSesi persekolahan bagi Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 dikekalkan pada Mac 2023 adalah untuk memastikan KPM mematuhi Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 (Pindaan) 2021 yang menetapkan bahawa jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik hendaklah tidak kurang daripada satu ratus sembilan puluh (190) hari.\nKenyataan media KPM turut memberikan maklum balas terhadap cadangan dan perhatian daripada beberapa pihak untuk mengembalikan semula sesi persekolahan pada Januari. KPM berpandangan bahawa perkara tersebut boleh dilaksanakan dengan memendekkan jumlah cuti persekolahan secara berperingkat bermula dari tahun 2023 hingga tahun 2026 dengan pematuhan terhadap jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik. Namun dengan mengambil kira kebajikan para guru, murid dan kesan terhadap ekonomi negara, KPM mengambil keputusan untuk menangguhkan cadangan tersebut bagi mengurangkan impak terhadap pihak berkaitan.\nSebagai kementerian yang komited untuk memberikan yang terbaik kepada masyarakat, KPM juga mengambil kira pelbagai pandangan yang diterima daripada pemegang taruh untuk mengelakkan peperiksaan SPM diadakan pada November dan Disember kerana pada bulan tersebut negara mengalami musim tengkujuh. Situasi tersebut secara tidak langsung memberikan kesan kepada guru, pelajar dan petugas peperiksaan. Selain itu, apabila peperiksaan SPM diadakan pada Februari dan Mac, tempoh menunggu untuk calon terbabit bagi kemasukan ke universiti juga akan lebih singkat berbanding dengan sebelum ini.\nKPM sentiasa melihat keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik bagi tahun seterusnya untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum.\nKalendar Akademik Sesi 2023/2024 boleh dimuat turun melalui laman sesawang KPM di pautan ini." "Encik Zulfa Hamzah Dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Encik Zulfa Hamzah atas pelantikan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP berkuat kuasa pada hari ini.\nPengumuman itu dilakukan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md. Johari Hasan dalam mesyuarat khas bersama-sama pengurusan tertinggi DBP di Menara DBP pada petang ini. Pelantikan Encik Zulfa Hamzah adalah bagi menggantikan tempat Tuan Haji Abd. Halim Haji Harun yang bersara wajib pada 26 Oktober 2022 lalu.\nTerdahulu, Encik Zulfa Hamzah merupakan Pengurus Besar Bahagian Pemasaran dan Pengedaran. Beliau telah berkhidmat di DBP selama lebih dari 25 tahun, bermula pada tahun 1997.\nDalam tempoh perkhidmatan tersebut, beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik (2020 \u2013 2021), Ketua Bahagian Undang-undang (2014) dan Ketua Urus Setia Lembaga (2014), serta turut menerajui beberapa bahagian penting di DBP, antaranya termasuklah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik (2014 \u2013 2020), Bahagian Pembangunan Sumber Manusia (2008 \u2013 2014), Bahagian Pentadbiran Am (2007 \u2013 2008), Bahagian Pengurusan Personel (2000 \u2013 2002) dan Bahagian Undang-undang (1997 \u2013 2000).\nMeniti kejayaan dan pencapaian sepanjang berkhidmat di DBP, beliau telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2003, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2015 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020, Anugerah Perkhidmatan 20 Tahun (2017) dan Anugerah Perkhidmatan 25 Tahun (2022).\nMenerusi pelantikan tersebut, DBP meletakkan sepenuh keyakinan terhadap Encik Zulfa Hamzah untuk bersama-sama menggalas tanggungjawab dalam memartabatkan bahasa, sastera dan penerbitan negara, seiring dengan kemajuan dan keperluan industri serta memenuhi kehendak masyarakat.\nDalam ucapannya, Encik Zulfa menyatakan bahawa beliau akan menunaikan amanah dan kepercayaan yang diberikan dengan sebaik-baiknya demi kepentingan organisasi. Beliau juga akan terus komited dalam merealisasikan visi dan misi DBP." "Timbalan Menteri Pendidikan, YB Lim Hui Ying Mulakan Tugas Rasmi di KPM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Penantian siapakah yang akan menjawat jawatan Timbalan Menteri Pendidikan akhirnya terjawab apabila Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim mengumumkan barisan timbalan menteri Kerajaan Perpaduan pimpinannya pada 9 Disember lepas. YB Lim Hui Ying, 59 tahun, yang merupakan Ahli Parlimen Tanjong, Pulau Pinang diberi kepercayaan untuk membantu Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dalam menjayakan misi meningkatkan kualiti dan mutu pendidikan negara.\nBeliau memulakan tugas rasminya pada hari ini di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Berbaju kurung moden berwarna kuning air, kehadiran beliau disambut oleh Ketua Setiausaha (KSU) KPM, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), YBhg. Dato\u2019 Haji Pkharrudin Haji Ghazali di lobi kementerian.\nSebelum memulakan tugasan rasminya, beliau berkesempatan mengimbas kad perakam waktu\u00a0kira-kira pada pukul 8.30 pagi tadi sebagai simbolik memulakan tugas rasmi beliau di KPM.\nDalam sidang media ringkas, beliau merakamkan penghargaan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberikan kepercayaan kepada beliau untuk memegang jawatan tersebut. Selain itu, beliau turut menyatakan komitmen untuk bersama-sama dengan Menteri Pendidikan dan warga KPM dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik serta meningkatkan taraf pendidikan negara.\nPada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), YB Lim Hui Ying merupakan Setiausaha DAP Pulau Pinang dan bertanding di Parlimen Tanjong. Beliau berjaya menewaskan dua calon lain dengan meraih 31 968 undi dan majoriti sebanyak 28 754 undi. Sebelumnya, beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Negara pada tahun 2018." "Bahasa Melayu Pemersatu Bangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Ketil, Kedah \u2013 Program Wacana Ilmuan Bahasa Bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan 2022 peringkat negeri Kedah telah diadakan pada 15 September 2022 (Khamis) pada pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.\nProgram tersebut disempurnakan perasmiannya oleh Dr. Rohani binti Desa, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu\u2019adzam Shah (UniSHAMS). Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Encik Mohammad Aizad bin Mohammad Bokhari, Pengarah Pusat Pengajian Umum (UniSHAMS); Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU), Encik Rahimi bin Arifin;Pensyarah Cemerlang selaku Pembicara Wacana Ilmuwan Bahasa, Dr. Haji Amir bin Haji Juhari; dan para kakitangan dan pelajar UniSHAMS.\nProgram Wacana Ilmuwan Bahasa Bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2022 merupakan salah satu acara tahunan negara untuk menyedarkan masyarakat terhadap kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Tujuan utama program Wacana Ilmuwan Bahasa dengan DBK 2022 dianjurkan peringkat negeri Kedah adalah untuk menarik minat para pelajar dan pensyarah di negeri Kedah untuk mengetahui secara umum tentang sejarah, cabaran dan perkembangan bahasa Melayu di Malaysia dan seterusnya memberikan pendedahan kepada khalayak tentang keperluan memartabatkan bahasa Melayu yang menjadi pemangkin kepada perpaduan bangsa dan negara. Di samping itu, program ini juga memperkenalkan tokoh ataupun ilmuwan dalam bidang bahasa kepada para peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan.\nDr. Haji Amir bin Haji Juhari selaku pembicara berpandangan bahawa bahasa Melayu bukan sahaja mempersatu bangsa yang terdapat di Malaysia, malah turut mempersatu bangsa di seluruh dunia. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat perkembangan bahasa Melayu di China dengan penawaran lebih daripada 10 universiti dan kolej yang menawarkan jurusan bahasa Melayu untuk diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana. Begitu juga penawaran jurusan bahasa Melayu di universiti di Rusia dan universiti di Australia.\nWalaupun begitu, bahasa Melayu boleh berada diambang kepupusan sekiranya generasi muda pada hari ini tidak bertutur menggunakan bahasa Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana generasi muda pada hari ini lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu. Oleh sebab itu, menurut beliau, bahasa Melayu perlu dijaga dan dipelihara oleh semua pihak dan peranannya bukan sahaja bergantung kepada kerajaan mahupun DBP.\nMenurut beliau lagi, bahasa Melayu menghadapi pelbagai cabaran, antaranya termasuklah persaingan dengan bahasa Inggeris, percampuran kod seperti mencampuradukkan bahasa atau dialek dengan bahasa atau dialek yang lain. Fenomena ini telah menjadi suatu kebiasaan di Malaysia kerana terdapat pelbagai jenis bahasa dan dialek seperti bahasa Melayu, bahasa Cina, bahasa Tamil dan suku kaum serta dialek tempatan.\nRumusannya, bahasa Melayu boleh dikatakan sebagai nyawa bagi bangsa kerana bahasa Melayu melambangkan ketamadunan yang boleh membentuk perpaduan dan jati diri bangsa. Oleh itu, kita perlu yakin terhadap bahasa Melayu kerana bahasa Melayu adalah bahasa pemersatu bangsa." "Krisis Media: Di Belakang Duri, di Depan Api\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Media tradisional yang dahulunya menjadi medium pembangkit semangat nasionalisme, kini beralih ke platform digital dengan membentuk naratif baharu\u00a0 dalam memberikan liputan berita dari dalam negara mahupun pada peringkat antarabangsa dengan lebih berkualiti dan bersifat semasa.\nTidak dinafikan bahawa rakyat di negara ini banyak bergantung pada media dalam mendapatkan maklumat mengenai perkembangan semasa dalam segenap konteks. Pada hari ini, kebebasan media merupakan tuntutan utama bagi menjamin kelangsungan dan kesuburan amalan sistem demokrasi. Tanpa kebebasan media yang sebenar, naratif penjajahan minda akan mula berlegar-legar dalam pemikiran masyarakat sehingga membawa kepada kepupusan daya fikir yang kritis dan kreatif.\nHal ini menjadi topik utama yang disentuh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dalam program syarahan umum bertajuk Krisis Media: Di Belakang Duri, di Depan Api, yang berlangsung pada pagi tadi, di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.\nMenurut Tan Sri Johan Jaaffar, pelbagai perubahan yang berlaku pada hari ini dalam dunia kewartawanan Melayu dan media tanah air berpunca daripada memenuhi tuntutan zaman agar penghasilan sesebuah naratif dan liputan tersebut masih relevan untuk menjadi santapan minda rakyat Malaysia.\n\u201cPada fasa kini, media mula menghadapi satu perubahan yang berganjak daripada platform tradisional ke platform digital ataupun yang dikenali sebagai revolusi media. Maka itu, kita harus belajar daripada pengalaman lalu, saya nak tarik sedikit perhatian kepada sebuah buku yang ditulis oleh Professor Rom yang bertajuk The Origin of Malay Nasionalisme. Satu daripada bab yang sangat penting ditulis dalam buku ini adalah tentang sejarah kebangkitan nasionalisme Melayu tentang penubuhan apa yang disebutkan sebagai persuratkhabaran dan permakalahan Melayu. Kita harus ingat bahawa surat khabar Melayu yang pertama, yang diterbitkan pada tahun 1876 di Singapura, diterbitkan oleh kelompok yang disebut Jawi Peranakan. Kemudian kalau kita perhatikan pertumbuhan persuratkhabaran Melayu cukup luar biasa. Pada Mei 1939, lahirlah akhbar Utusan Melayu. Bermula dari detik inilah kita menyaksikan bagaimana revolusi akhbar terus berlaku,\u201c ujarnya.\nKemudian beliau melanjutkan lagi syarahannya dengan menyentuh perihal kecaknaan media untuk berhadapan dengan senario politik semasa, beliau turut menyatakan bahawa media seharusnya diberikan kebebasan tanpa perlu ada sekatan dan cengkaman daripada mana-mana parti ataupun ahli politik.\nKebebasan akhbar seperti yang saya nyatakan banyak kali adalah lebih penting sekarang berbanding dengan sebelum ini. Lebih-lebih lagi di bawah kerajaan pada hari ini. Kerajaan mesti menghormati kebebasan akhbar dan peranan pengamal media. Kebebasan media adalah lebih penting dalam memastikan semak dan imbang. Tanpa semak dan imbang kita akan menghadapi masalah besar\nDi sisi lain pula, beliau mencadangkan agar media yang sedia ada menitikberatkan penstrukturan semula yang disesuaikan mengikut situasi terkini untuk memenuhi tuntutan semasa. Pada akhir syarahannya, beliau sempat menyatakan harapan bahawa negara kita sedang berdepan dengan masalah yang dianggap satu krisis yang amat ketara dalam media pada hari ini. Krisis itu bukan sahaja sekadar cara kita beroperasi, menjalankan perniagaan, mendapatkan maklumat dan menyebarkan maklumat, tetapi yang lebih penting adalah keyakinan orang lain terhadap media di negara ini. Maka, itu, Tan Sri Johan Jaaffar mencadangkan agar semua pihak meletakkan satu kerangka baharu, iaitu memikirkan cara yang terbaik untuk memastikan kebebasan media benar-benar dapat diwujudkan. Dalam konteks persaingan pada hari ini ujarnya, hanya yang terbaik akan bertahan.\n\u201cSekarang, pembaca, penonton, pendengar sudah pandai menghukum. Bukan macam dulu. Oleh itu, kita nampak sekarang ini banyak perubahan. Saya berharap kerajaan di bawah pimpinan Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim akan mengotakan janjinya untuk membebaskan media. Bukan sahaja membebaskan media dari segi keupayaan mereka untuk menjadi kritikal, untuk menjadi suara bicara, untuk menjadi \u2018mata\u2019 dan \u2018telinga\u2019 masyarakat, tetapi dalam masa yang sama membebaskan mereka daripada undang-undang yang tidak lagi relevan pada ini\u201d." "30 Pelajar Negeri Perlis Terima Tajaan Pendidikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSebanyak 30 pelajar berasal dari Perlis menerima biasiswa pendidikan melalui Pertubuhan Kebajikan Amal Malaysia Sejati dan Kuala Lumpur City College (KLCC).\nTajaan itu hasil kerjasama dengan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).\nBaru-baru ini, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan berangkat meninjau kemudahan tempat tinggal pelajar Perlis yang sedang menuntut di KLCC, Kuala Lumpur.\nKeberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengasas KLCC, Profesor Dato\u2019 Dr. Chin See Keat dan Penaungnya yang juga Penaung Pertubuhan Kebajikan Amal Malaysia Sejati, Tunku Rizal Shah Tunku Muszaffar Shah.\nMenurut Tunku Rizal Shah, pertubuhannya berbesar hati memperuntukkan penajaan sebanyak 30 biasiswa kepada pelajar daripada negeri Perlis melalui YTSP dan MAIPs. Mereka teruja melihat kesungguhan Tuanku Raja Muda Perlis dalam mengangkat agenda pendidikan di kalangan golongan yang memerlukan.\nSasaran kami adalah memastikan program pendidikan di tahap diploma dalam bidang peruncitan melalui konsep latihan pekerjaan dapat membantu mereka yang berkeperluan, selain memberikan peluang untuk pelajar mengembangkan lagi potensi dalam diri mereka termasuk untuk memulakan perniagaan sendiri,\u201c jelas beliau.\nDalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan penyertaan anak asnaf dan golongan B40 dari Perlis untuk melanjutkan pelajaran di bawah tajaan pertubuhannya dan KLCC di masa hadapan dan berharap agar menjadi pembuka jalan untuk mencapai sasaran mereka, satu pelajar satu tajaan.\nMengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra ke kunjungan tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran MAIPs, Prof Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Dato\u2019 Johari Mohd Darus.\nTurut bersama-sama dalam peninjauan tersebut ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Naharudeen Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor." "Sebanyak 1601 Graduan UMT Tamat Pengajian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Nerus \u2013 Sebanyak 1601 graduan diraikan dengan penuh istiadat dan gilang-gemilang dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kali Ke-20 yang berlangsung selama empat sesi bermula pada 11 hingga 12 Disember 2022. Mereka yang diraikan terdiri daripada 171 graduan pascasiswazah, 1297 graduan sarjana muda dan 133 graduan diploma.\nKebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultanah Nur Zahirah berkenan membuka sidang pertama majlis konvokesyen itu di Dewan Sultan Mizan, UMT hari ini. Sultanah Nur Zahirah yang merangkap sebagai Canselor UMT dalam titahnya menzahirkan ucapan tahniah kepada semua graduan dan penerima anugerah pada majlis berkenaan.\nTitah KDYMM Sultanah Nur Zahirah,\nBeta berharap graduan perlu bersedia menghadapi realiti hidup yang mencabar, bukan sahaja dari segi kemahiran dan kesediaan fizikal untuk memenuhi keperluan pasaran kerja, malahan wajib melengkapkan diri dengan adab dan akhlak yang terpuji.\nKDYMM turut berkenan menyampaikan skrol dan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Kemanusiaan kepada Dato\u2019 Dr. Annabel Teh Gallop atas kepakaran dan sumbangan beliau dalam bidang ketamadunan Islam, budaya, seni dan warisan Melayu Asia Tenggara.\nBeliau turut berkolaborasi bersama-sama UMT sebagai rakan kerjasama dalam Pameran Manuskrip Al-Quran Emas Warisan Kesultanan Terengganu 2018, serta turut menjadi pakar rujuk antarabangsa dalam usaha UMT, Lembaga Muzium Negeri Terengganu dan Jabatan Warisan Negara mencalonkan Mushaf al-Quran Terengganu sebagai \u201cMemory of The World-UNESCO\u201d.\nPada majlis itu juga, Dato\u2019 Rozano Saad yang merupakan Pengarah Urusan Shell turut dilantik sebagai Profesor Adjung UMT telah membawa kerjasama industri-UMT dalam mencapai matlamat kemapanan bagi menyelesaikan isu alam sekitar. Kepakaran dan sumbangan bakti beliau kepada negara dan dunia juga tidak dapat disangkal, malah turut menerima skrol ijazah kehormat daripada Sultanah Nur Zahirah.\nTurut diraikan dalam majlis ini ialah penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Pingat Emas Canselor, Anugerah Pro-Canselor, Anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dan Anugerah Naib Canselor.\nMenurut Naib Canselor UMT, Profesor Dato\u2019 Dr. Mazlan Abd Ghaffar, UMT terus komited memacu kecemerlangan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran dengan melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Cetakan Biru (Blueprint) Kebolehpasaran Graduan dan penawaran program pengajian berimpak tinggi yang relevan dan berteraskan industri.\nTambah Naib Canselor UMT ketika berucap dalam majlis tersebut,\nUMT perlu memfokuskan pembangunan program pembelajaran sepanjang hayat dan pemerkasaan proses pemantauan perkembangan pencapaian pelajar agar graduan berkualiti dapat dihasilkan." "Krisis Makanan Cetus Kebimbangan Masyarakat Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIsu krisis makanan menjadi perhatian serius pada tahun ini dan menjadi kebimbangan besar masyarakat dunia. Perkara ini bukan lagi sekadar suatu spekulasi, tetapi telah menjadi isu serius yang tidak boleh dipandang ringan . Suara kebimbangan ini bukan hanya lahir daripada pemimpin dan pakar-pakar pemakanan, bahkan\u00a0 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga sudah mula bersuara tentang kebimbangan tersebut. Suasana mungkin akan bertambah kritikal pada saat dunia sedang berdepan dengan masalah krisis ekonomi global yang belum diketahui titik penghujungnya.\nMenurut laporan AFP, seorang penduduk dunia dianggarkan meninggal dunia dalam tempoh setiap empat saat, sekali gus menggesa komuniti antarabangsa mengambil langkah segera bagi menamatkan krisis kebuluran global. Menerusi surat terbuka kepada semua pemimpin dunia yang menyertai Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, sebanyak 238 organisasi dari 75 buah negara, termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan England (Oxfam), Organisasi Kemanusiaan \u201cSave the Children\u201d dan \u201cPlan International\u201d menzahirkan kebimbangan berhubung dengan tahap kebuluran global pada ketika ini.\n\u201cSetakat ini, kira-kira 345 juta orang di seluruh dunia berdepan dengan kebuluran teruk, menyaksikan jumlah itu meningkat lebih dua kali ganda sejak 2019.\nDi sebalik jaminan serta janji dari para pemimpin dunia yang tidak akan membenarkan lagi kebuluran berterusan dalam abad ke-21, masalah itu sudah \u201ckekal\u201d di Somalia. Menurut surat tersebut, sebanyak 50 juta orang penduduk berada di ambang kebuluran di 45 buah negara. Menjangkakan 19 700 orang berdepan kematian akibat kebuluran setiap hari, kesemua NGO tersebut menyamakan keadaan itu sama dengan seorang penduduk yang akan mati setiap empat saat.\n\u201cDengan semua kemudahan teknologi dalam sektor pertanian dan teknik yang kita miliki pada hari ini, kita masih bercakap soal kebuluran pada abad ke-21.\n\u201cHal ini bukan soal tentang sebuah negara atau sebuah benua, dan kebuluran tidak pernah mempunyai hanya satu sebab untuk berlaku. Hal ini adalah berkaitan dengan ketidakadilan dalam hak asasi manusia,\u201d kata Mohanna Ahmed Ali Eljabaly dari Persatuan Penjagaan Keluarga Yaman, iaitu satu daripada NGO yang menandatangani surat berkenaan. Jelas Mohanna, semua pihak tidak sepatutnya mengambil pendekatan \u201ctunggu dan lihat\u201d untuk meredakan masalah yang berlaku kerana terdapat nyawa yang bergelut untuk meneruskan kehidupan pada setiap hari.\nMakanan merupakan satu perkara asas dalam kehidupan manusia sama seperti tempat tinggal dan pakaian. Adalah tidak wajar apabila krisis kekurangan bekalan makanan boleh berlaku di beberapa buah negara di dunia disebabkan oleh pelbagai faktor. Menurut kesemua NGO berkenaan, krisis kebuluran global disebabkan oleh kemiskinan, ketidakadilan sosial, ketidaksamarataan jantina, konflik, perubahan iklim dan kejutan ekonomi. Perkara yang membimbangkan, krisis makanan yang menimpa dunia sekarang ini membabitkan bekalan makan ruji seperti beras, gandum, bijirin dan jagung yang menjadi keperluan asas setiap individu.\nPemimpin program makanan PBB juga telah memberi amaran bahawa dunia bakal berdepan kecemasan global yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pengarah Eksekutif Program Makanan Dunia PBB, David Beasley memberitahu Majlis Keselamatan PBB bahawa 345 juta orang menghadapi masalah kekurangan makanan yang meruncing di 82 buah negara. Jelasnya, angka itu adalah dua kali ganda bilangan orang tidak mempunyai bekalan makanan mencukupi sebelum COVID-19 melanda pada 2020.\nPakar turut memberi amaran bahawa perang Rusia-Ukraine berisiko menyebabkan kebuluran, menurut laporan tahunan FAO. Konflik Rusia-Ukraine ini telah memburukkan lagi isu keselamatan makanan pada peringkat global. Hal ini termasuklah 70 juta orang yang ditekan dan mengalami kebuluran akibat perang di Ukraine.\nMenurut Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken, Rusia dan Ukraine menghasilkan satu pertiga daripada bekalan gandum dunia, dan kehilangan komoditi akibat perang yang telah mengakibatkan harga makanan melambung tinggi dan ketidakpastian tentang masa depan keselamatan makanan di seluruh dunia terutamanya di negara miskin. Sekatan tentera laut Rusia di pelabuhan Laut Hitam di Ukraine pula telah mengakibatkan terhentinya penghantaran bijirin daripada pengeksport gandum dan jagung keempat di dunia, sekali gus menyebabkan kekurangan bekalan dan meningkatkan kes kelaparan di negara berpendapatan rendah.\nMenurut Blinken lagi, kekurangan bahan api dan baja di kebanyakan negara dan lonjakan harga makanan yang pantas menggugat kestabilan rakyat, meningkatkan kebuluran, kekurangan zat makanan, mendorong penghijrahan dan menyebabkan ketidakstabilan ekonomi yang lebih teruk.\nSetiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, setakat ini tiada penyelesaian berkesan untuk krisis makanan tanpa mengintegrasikan semula pengeluaran makanan Ukraine, serta produk makanan dan baja yang dihasilkan oleh Rusia dan Belarus ke pasaran dunia.\nPerubahan iklim pula menjadi alasan utama yang menyebabkan gangguan cuaca seperti kekeringan yang menjadikan penghasilan produk semakin berkurangan. Kenaikan harga minyak dunia dan gas yang turut mempengaruhi harga pengeluaran makanan akan mempengaruhi hasil pengeluaran di pelbagai negara.\nKrisis makanan lebih parah disebabkan kekurangan pengeluaran makanan tempatan, iaitu legasi polisi silam. Polisi ini tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan makanan tempatan, lalu menyumbang kepada inflasi harga, selain inflasi import terutamanya minyak dan baja.\nPengarah Eksekutif Dana Global untuk melawan AIDS, Tuberkulosis dan Malaria, Peter Sands, memberi bahawa amaran situasi itu berpotensi mencetuskan malapetaka baharu berhubung dengan aspek kesihatan dunia.\nSands berkata, kekurangan makanan yang dihadapi ketika ini secara tidak langsung mengakibatkan lebih ramai yang meninggal dunia bukan sahaja kerana kelaparan tetapi disebabkan antibodi badan yang rendah untuk melawan penyakit berjangkit akibat pengambilan makanan tidak berzat.\nPenduduk dunia yang berdepan dengan isu kelaparan meningkat kepada 193 juta tahun lalu ketika konflik perubahan iklim dan krisis ekonomi merosakkan kehidupan, demikian menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO). Agensi PBB itu memaklumkan bahawa hampir 40 juta lagi individu berada dalam krisis \u201ckeselamatan makanan yang teruk\u201d pada tahun lalu.\nDaripada 53 buah negara yang berdepan dengan isu itu, Republik Demokratik Congo, Ethiopia, Yaman dan Afghanistan paling teruk terkesan, terutamanya Afghanistan yang menyaksikan jutaan penduduknya kelaparan selepas negara itu terjerumus dalam krisis kewangan selepas Taliban mengambil alih pemerintahan tahun lalu.\nKrisis makanan juga berkaitan rapat dengan kemelesetan ekonomi global sebagaimana amaran oleh sebuah agensi PBB berikutan kesan serius kemelesetan global yang disebabkan oleh dasar kewangan negara membangun. Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva berkata, dalam konteks memperketat dasar kewangan, dasar fiskal tidak boleh terus dibiarkan kerana krisis kos sara hidup melanda sebahagian masyarakat secara mendadak.\n\u201cKami memerlukan bank pusat untuk bertindak tegas kerana inflasi sangat degil. Hal ini tidak baik untuk pertumbuhan dan sangat buruk bagi orang miskin,\u201d katanya. Jelasnya lagi, inflasi sebenarnya merupakan cukai terhadap orang miskin.\nGeorgieva menjelaskan, dasar fiskal yang menyokong semua orang secara sembarangan dengan menekan harga tenaga dan memberikan subsidi adalah bertentangan dengan tujuan asas dasar kewangan.\n\u201cJadi, anda mempunyai dasar kewangan yang meletakkan kaki pada brek dan dasar fiskal meletakkan kaki pada pemecut,\u201d katanya selepas mengambil bahagian pada persidangan keselamatan makanan di Riyadh baru-baru ini." "\u201cMerdeka Ekonomi\u201d: Mendukung Konsep Keselesaan dan Kesejahteraan Rakyat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDaripada sebuah negara pertanian yang hampir separuh penduduknya miskin, Malaysia kini selangkah menuju ke tahap negara berpendapatan tinggi. Kemajuan pembangunan negara ini adalah meluas setelah 65 tahun mencapai kemerdekaan, disebabkan oleh rakyatnya rata-ratanya berpendidikan, mempunyai sistem kesihatan berkualiti, infrastruktur yang baik serta jalinan sistem pengangkutan yang menyeluruh. Malaysia berada di pentas global, berdaya saing dan merupakan antara pilihan untuk destinasi pelaburan global. Kajian Bank Dunia, The Growth Report (2008), menyenaraikan Malaysia sebagai antara 13 buah negara yang dianggap \u201cberjaya\u201d dalam konteks pembangunan.\nApa-apa jua kejayaan pembangunan yang dilaporkan; kemasukan pelaburan langsung asing (FDI), penawaran pekerjaan, kemajuan digital, peningkatan eksport, kehebatan penyelidikan dan inovasi, kemajuan teknologi, kecekapan perkhidmatan awam, jalinan lebuh raya yang efisien, tahap produktiviti yang semakin tinggi dan pelbagai lagi petunjuk pembangunan\u2013 menyumbang kepada kesejahteraan hidup rakyat. Tahap pendapatan adalah antara ukuran yang penting dalam menilai kejayaan pembangunan. Di manakah kita sekarang? Apakah kejayaan pembangunan yang dilaporkan disumbangkan kepada rakyat? Adakah rakyat menikmati keselesaan dan kesejahteraan?\nNatijahnya, manfaat pembangunan tidak tersebar kepada semua kelas pendapatan. Secara umumnya, pendapatan semua lapisan masyarakat (B40, M40, dan T20) telah meningkat tetapi kadarnya tidak sama. Golongan T20, jelas lebih menikmatinya. Golongan berpendapatan B40 dan M40 tidak menikmati kejayaan pembangunan negara seperti golongan T20. Pastinya salah jika kita mahukan semua mempunyai pendapatan yang sama. Kepelbagaian tahap pendapatan tetap akan wujud dan turut menjadi faktor dorongan untuk bersaing, berusaha lebih gigih dan adalah kurang wajar untuk menyalahkan golongan T20.\nPerkara yang perlu diperbaiki ialah perkara yang sampai dan boleh dicapai oleh kumpulan pendapatan menengah dan rendah, iaitu \u201ckadar\u201d peningkatan pendapatan rendah dan malar bagi golongan B40 dan M40. Dengan mengambil kira kenaikan kadar inflasi dan ragam penggunaan, berkemungkinan kehidupan mereka lebih tertekan. Polisi berbentuk bantuan boleh diteruskan tetapi tidak mampu\u00a0 untuk menyelesaikan masalah. Penekanan kepada pengupayaan dan peluang menjana pendapatan perlu ditingkatkan. Strategi pertumbuhan berpendapatan rendah diperlukan. Sekiranya dibiarkan, ramai yang akan terperangkap dan ini akan menjadikan Malaysia sebuah \u201cnegara maju, tetapi rakyatnya tidak\u201d.\nHampir separuh daripada rakyat Malaysia mempunyai pendapatan yang rentan mudah terjejas. Pendapatan tahap menengah Malaysia ialah RM5873. Tahap pendapatan ialah 2.5 kali dari Garis Kemiskinan, iaitu pada RM5520 yang dianggap rentan mudah jejas. Pandemik COVID-19 jelas memaparkan kerentanan ini. Sekitar 97% usahawan di Malaysia terlibat dalam sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Sekitar 66% tenaga kerja Malaysia pula bekerja dengan PMKS dan sebahagian besar darinya (70%) adalah daripada perusahaan Mikro (kurang dari 5 pekerja) sangat rentan dan dalam sektor tradisional. Ramai golongan B40 juga terlibat dalam sektor informal, iaitu tiada pendaftaran perniagaan dan tiada perlindungan sosial.\nSektor perkhidmatan pula menyumbang 55% daripada ekonomi negara tetapi umumnya dipelopori oleh aktiviti lazim tidak bersifat canggih. Pertaruhan Malaysia menjadi hebat apabila banyak bersandarkan kepada sektor industri pembuatan (36% dari GDP) dan umumnya yang diraikan ialah kemasukan pelaburan asing FDI. Adakah cukup sekadar sektor pembuatan sahaja? Bagaimanakah pula dengan sektor yang lain? Profesor Dani Rodrik, sarjana pembangunan dari Harvard pernah menyatakan bahawa tiada negara boleh menjadi hebat selagi aktiviti ekonomi domestik dan penduduknya tidak hebat. FDI memang diakui penting, tetapi sekiranya FDI dikeluarkan, di manakah kedudukan Malaysia?\nPolisi untuk meningkatkan kualiti dan keupayaan PMKS perlu ditingkatkan. Adalah penting untuk menarik pelaburan asing (FDI), tetapi kemajuan pelaburan dan keupayaan perusahaan tempatan (DDI) mestilah menjadi agenda utama, setanding dengan FDI. Masalah buat majoriti rakyat ialah kehidupan yang tertekan dan tidak selesa. Kehidupan mereka hanya \u201ccukup-cukup\u201d sahaja. Benar kemiskinan masih wujud di Malaysia, iaitu kadar terkini dilaporkan sekitar 8.4%.\u00a0 Menangani kemiskinan tetap penting tetapi setelah 65 tahun merdeka, majoriti masalah rakyat telah berubah kepada \u201ctidak selesa\u201d, bukan kemiskinan. Keresahan yang selalu dilaporkan ialah mengenai hidup tertekan dan tidak selesa yang menjurus dari kemiskinan.\nPenggubal dasar perlu menilai \u201ckeselesaan\u201d dengan lebih jelas. Sehingga kini, belum ada pentakrifan dan pengumpulan data rasmi yang menunjukkan tahap keselesaan. Penggunaan data golongan berpendapatan B40, M40 dan T20 tidak membantu. Data tersebut merupakan ukuran kelas ekonomi secara \u201cmatematik relatif\u201d, namun tidak membawa makna kualiti kehidupan secara langsung, dan hal ini tetap ada walaupun di negara yang paling kaya di dunia. Keselesaan turut tertakluk pada lokasi dan tanggungan. Sebagai contoh, ukuran yang pernah dikeluarkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan, isi rumah seramai empat orang memerlukan pendapatan sebanyak RM6810 di Lembah Kelang, sementara di Alor Setar ialah RM5350. Ertinya sebahagian daripada golongan M40 dan ke bawah masih belum dapat hidup dengan selesa. Mereka mungkin keluar dari kelas B40 tetapi hidup tidak selesa. Malah terdapat golongan yang mungkin berada dalam kategori M40 tetapi hidup tertekan.\nKesejahteraan mempunyai cakupan yang luas, melangkaui tahap pendapatan dan kuasa beli, dan bukan semuanya boleh diukur dengan nilai monetari. Perpaduan, keselamatan, toleransi kepelbagaian bangsa dan agama, kebahagiaan rumah tangga, keharmonian masyarakat, alam sekitar yang bersih, tadbir urus yang baik, kebebasan bersuara, jaminan hak asasi dan beberapa ukuran pembangunan yang lain adalah bersifat \u201cawam\u201d, tiada empunya mutlak adalah penting dalam menilai kesejahteraan. Umumnya, peningkatan pendapatan berkemungkinan membolehkan aspek kesejahteraan bersifat \u201cawam\u201d ini direalisasikan.\nSebagai kayu ukur, tahap pendapatan yang membolehkan kehidupan yang selesa wajar menjadi sasaran perancangan pembangunan ekonomi, bukan sekadar miskin atau kaya, tetapi tahap keselesaan. \u201cMerdeka ekonomi\u201d seharusnya dimanifestasikan oleh peningkatan kesejahteraan kehidupan. Belanjawan 2023 boleh menjadi medan perbicaraan aspek keselesaan ini. Negara Berpendapatan Tinggi yang bagaimana anda mahukan? Lagu patriotik Wawasan 2020-Malaysia,iaitu lagu bertemakan negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 telah didendangkan hampir 30 tahun. Namun begitu, saban tahun kita mengukur pendapatan perkapita negara, dan sejauh manakah lagi untuk mencapai wawasan ini?\nWawasan 2020 sudah berlabuh. Matlamat Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi masih belum dicapai. Tanah yang luas, penduduk yang ramai, sumber asli yang banyak bukan lagi syarat utama sebuah negara menjadi hebat. Asas ekonomi yang canggih berupaya mengaplikasikan teknologi tinggi, disokong oleh ekosistem dan infrastruktur yang lengkap, kecekapan kerajaan, kestabilan politik dan kesediaan bakat yang hebat mempengaruhi daya saing negara.\nSepanjang 30 tahun, negara mengharungi empat krisis ekonomi yang merencatkan pertumbuhan; iaitu Krisis Ekonomi Asia Timur (1997/98), Krisis Dot.Com (2001), Krisis Kewangan Global (2008/09) dan terkini Krisis Pandemik COVID-19 (2020/21).\u00a0 Pendapatan per kapita meningkat dari USD2400 pada tahun 1990 ke USD10570 pada tahun 2020. Negara telah ketinggalan sebanyak 17% berbanding dengan pendapatan tinggi. Jarang-jarang sekali kita bertanya, bagaimanakah negara berpendapatan tinggi yang kita mahukan? Bagaimanakah corak kehidupan yang kita idamkan untuk Malaysia apabila status negara berpendapatan tinggi tercapai?\nAdakah kita mahu menjadi seperti Amerika Syarikat? Jika disentuh mengenai perbandingan kos, Amerika Syarikat yang merupakan negara berpendapatan tinggi, kerana\u00a0 pendapatan pertengahannya ialah A.S.$ 61 937, iaitu sekitar A.S.$5162 sebulan. Jika mengikut \u201cangka\u201d (tidak dilihat dari segi mata wang) nilai tersebut lebih kurang menyamai Malaysia, iaitu RM5873 pendapatan pertengahan bulanan. Terkini, akibat COVID-19, kadar kemiskinan di Amerika ialah 11.4%, iaitu jauh lebih tinggi dari Malaysia, iaitu 8.4%. Kos perubatan adalah sangat mahal dan sekitar 56% rakyat Amerika mempunyai insurans. Selebihnya, sakit biasa \u201cdirawat sendiri\u201d dan membeli ubat tidak terkawal melalui ubat belian kaunter di farmasi. Bagi ubat terkawal, hanya doktor yang boleh memberikan preskripsi dan juga hanya boleh dibeli daripada ahli farmasi berdaftar. Adakah sistem ini lebih baik?" "Pendidikan Pilihan Raya: Sinar Hala Tuju Kepimpinan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLebih daripada separuh rakyat Malaysia tidak berminat untuk berbincang mengenai pilihan raya, walaupun dalam tempoh \u201cmusim\u201d pilihan raya itu sendiri. Terdapat banyak kajian akademik yang telah dijalankan mendapati bahawa rakyat Malaysia yang layak mengundi, iaitu kumpulan yang berumur 21 tahun ke atas (kini 18 tahun ke atas) tidak ghairah untuk bercakap dan terlibat dengan pilihan raya. Misalnya, jika dilihat statistik keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri terbaharu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, iaitu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang telah berlangsung pada bulan Mac yang lalu, hanya 54.92% peratusan keluar mengundi dicatatkan.\nKeadaan ini pastinya sesuatu yang amat membimbangkan terutamanya bagi sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen seperti Malaysia. Pilihan raya merupakan inti utama yang terdapat dalam sistem demokrasi. Oleh itu, jika majoriti rakyat dalam negara yang mengamalkan demokrasi tidak cenderung untuk terlibat dalam proses demokrasi, maka situasi ini perlu diberi penelitian khusus oleh semua pihak.\nTerbaharu, rakyat Malaysia sekali lagi ditawarkan peluang untuk terlibat secara langsung dalam pemilihan pemimpin negara sama ada di peringkat kerajaan Persekutuan mahupun di peringkat negeri. PRU-15 telah pun dijalankan pada bulan November 2022 yang lalu. Dengan situasi politik negara yang menyaksikan terdapat ramai calon yang bertanding bagi satu-satu kawasan pilihan raya, adakah situasi ini mampu menarik minat rakyat Malaysia untuk terlibat dalam proses demokrasi ini?\nPersoalan yang timbul, adakah rakyat Malaysia yang layak untuk mengundi pada pilihan raya tertarik dengan tawaran calon pilihan raya di kawasan masing-masing sehingga timbul kesedaran untuk keluar mengundi? Mengundi dalam pilihan raya memerlukan kesedaran, kebijaksanaan, penelitian serta pendidikan yang berkaitan kerana proses ini merupakan nadi penting yang menentukan \u201cnyawa\u201d bagi sebuah negara pada masa akan datang. Walaupun peratusan keluar mengundi boleh dijadikan petunjuk utama, namun faktor lain juga perlu dipertimbangkan untuk menilai tahap kesedaran rakyat berkaitan dengan pilihan raya. Antaranya termasuklah tahap pendidikan dan pengetahuan rakyat (pengundi) berkaitan proses pilihan raya.\nRakyat perlu didedahkan dengan pendidikan pilihan raya pada usia yang paling awal. Tambahan pula dengan penetapan baharu yang bermula PRU-15 lalu, remaja yang berusia 18 tahun telah layak mengundi. Oleh itu pendidikan yang berkaitan dengan pilihan raya perlu diketengahkan kepada remaja seawal usia 15 tahun ataupun lebih awal lagi. Hal ini penting untuk melengkapkan pengundi dengan ilmu pilihan raya yang sepatutnya difahami dengan lebih baik.\nPendidikan pilihan raya bukan sekadar untuk memahami aspek teknikal semasa proses mengundi, malah lebih daripada itu. Pendidikan pilihan raya seharusnya merangkumi pelbagai aspek termasuklah\u00a0 cara terbaik untuk membuat penilaian dalam pemilihan calon yang perlu diundi. Pengetahuan yang baik berkaitan proses pentadbiran negara, konsep kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, asas pelantikan Perdana Menteri serta hal-hal yang berkaitan dengan sistem pemerintahan negara berdasarkan Perlembagaan Malaysia amat perlu difahami oleh setiap pengundi.\nBagi mencapai hasrat negara untuk menjadi sebuah negara maju pada masa akan datang, adalah menjadi kewajipan setiap rakyat untuk memilih barisan kepemimpinan negara yang berkelayakan bagi menerajui negara. Proses memilih tampuk kepemimpinan negara yang berlaku dalam pilihan raya ini perlu berjalan dengan minda pengundi yang faham tentang cara dan kesan daripada undi yang dilakukan.\nPengundian yang dibuat bukan sekadar mengundi kerana calon ialah kenalan, saudara, ataupun berdasarkan pertimbangan peribadi, tetapi perlu dilakukan berdasarkan penilaian keseluruhan berkaitan calon dan parti politik yang diwakilinya. Hal ini wajib kerana pengetahuan yang berkaitan dengan proses pembentukan kerajaan selepas pilihan raya akan menjelaskan bahawa betapa pentingnya setiap calon yang dipilih perlu berada dalam kumpulan parti politik yang berwibawa dan bertanggungjawab. Hal ini dikatakan demikian kerana berdasarkan Perlembagaan Malaysia, pemilihan teraju utama pentadbiran negara, iaitu Perdana Menteri adalah berdasarkan sokongan kumpulan majoriti ahli Parlimen yang menguasai Parlimen. Hal ini bermakna, pemilihan pengundi perlu berdasarkan kumpulan, bukan sekadar calon secara individu. Sebagai contoh, jika calon terbaik yang diundi mencapai kemenangan, namun kumpulan parti politik yang diwakilinya bukan majoriti di Parlimen, maka calon terbaik yang dipilih itu tidak akan berjaya membentuk kerajaan dan tidak berjaya menjadi sebahagian daripada penggubal dasar negara.\nProses pendidikan yang berkaitan dengan pilihan raya merupakan satu penerapan ilmu yang berterusan, dan bukan sekadar maklumat yang hanya disampaikan secara bermusim dan ringkas. Pemahaman yang jelas berkaitan dengan tata urus pentadbiran negara perlu difahami oleh setiap rakyat yang layak mengundi, walaupun pengetahuan tersebut hanya pada peringkat asas. Jika tidak, negara hanya akan melahirkan generasi yang sama bentuk pemikirannya berkaitan dengan pilihan raya, iaitu hanya menganggap pilihan raya sekadar \u201cpesta\u201d memilih dan mengundi calon berdasarkan apa-apa yang ditawarkan pada masa tersebut dan bersifat jangka pendek. Contohnya, pada musim pilihan raya akan ada calon yang akan membelanjai makan pengundi di kawasannya, menghadiahkan sesuatu dalam bentuk material dan sebagainya. Pada hakikatnya, pengundi perlu membuat keputusan bukan hanya sekadar apa-apa yang diperoleh pada waktu kempen pilihan raya, tetapi untuk jangka masa panjang dan untuk kepentingan rakyat dan negara secara keseluruhan.\nKesedaran tentang cara memilih dengan tepat dan betul seharusnya dijadikan sebahagian daripada kandungan dalam pendidikan pilihan raya. Pihak berwajib seperti Kementerian Pendidikan Malaysia misalnya perlu mengambil inisiatif agar setiap pelajar yang berusia 15 tahun diberikan pendedahan yang sebaik-baiknya berkaitan dengan proses pentadbiran negara. Kandungan pendidikan pilihan raya juga mesti merangkumi aspek asas konsep Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan serta tatacara pengurusan negara yang diterajui oleh tiga badan utama, iaitu Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman.\nJika masyarakat masih menyimpan harapan dan keinginan untuk melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dalam semua aspek pada masa akan datang, maka hasrat tersebut perlu bermula dengan pemilihan pentadbiran yang baik dan berwibawa. Sebagai sebuah negara sedang membangun, Malaysia amat perlu diterajui oleh barisan kepemimpinan yang memahami hala tuju negara serta menepati ciri-ciri seorang pemimpin yang sepatutnya. Untuk itu, menjadi tugas pengundi untuk memilih calon yang sesuai berpandukan pengetahuan serta pendidikan yang berkaitan\u00a0 dengan pilihan raya kelak.\nPenulis, Pensyarah Kanan, Kolej Ekonomi Tenaga & Sains Sosial, Universiti Tenaga Nasional, Kampus Putrajaya." "Penerima Anugerah Buku Terbaik Ketua Menteri Sabah 2020/2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu \u2013 Panel Penilai bersetuju memilih buku bertajuk Pelaksanaan Perakaunan Asas Akruan dalam Sektor Awam di Malaysia: Isu Kewajaran dan Kesesuaian, penulis Rasid Mail, tahun terbit 2020 sebagai Penerima Anugerah Buku Terbaik Ketua Menteri Sabah 2020/2021 bagi Kategori Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nPada masa yang sama, buku bertajuk Monyet Bangkatan di Hutan Bakau Sabah, penulis Joseph Tangah dan Arthur Y.C. Chung, tahun terbit 2021 pula memenangi bagi Kategori Terbitan Luar, iaitu Jabatan Perhutanan Sabah.\nAnugerah ini merupakan pengiktirafan dan penghargaan bertaraf negeri terhadap buku yang bermutu tinggi hasil karya penulis Sabah khusus untuk penulisan buku umum.\nAntara objektif utama anugerah ini adalah untuk menggalakkan penulis, pensyarah, penyelidik dan golongan profesional dalam kalangan warga Sabah menulis buku umum; memberikan penghargaan kepada penulis yang berjaya menghasilkan bahan bacaan berkualiti khususnya buku; dan memperbanyak penerbitan buku umum dalam bahasa Melayu yang mengetengahkan pelbagai aspek berkaitan citra dan kearifan tempatan negeri Sabah.\nMenurut penganjur, tarikh penyertaan anugerah ini telah dibuka pada 31 Mac 2022 hingga 10 Jun 2022. Sebanyak 11 penyertaan diterima, iaitu dua buah buku terbitan DBP dan sembilan buah buku terbitan luar.\nPenerima Anugerah Buku Terbaik Ketua Menteri Sabah 2020/20221 akan menerima hadiah berupa wang tajaan Kerajaan Negeri Sabah sebanyak RM5000 bagi kategori terbitan DBP dan kategori terbitan luar." "Anda Adalah Apa yang Anda Makan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada era 70-an dan 80-an, kata-kata \u201cAnda adalah apa yang anda makan\u201d memang popular, terutamanya dalam kalangan orang Barat. Petikan daripada artikel Alexander Schauss dan C. Simonson pada tahun 1979, Journal of Orthomolecular Psychiatry, Vol. 8 menunjukkan bahawa semenjak tahun 1970, peranan vitamin, bahan pengawet, gula dan diet dikaji, terutamanya yang membabitkan tingkah laku golongan remaja.\nKajian mengenai nutrisi sebagai punca perlakuan jenayah bertitik tolak daripada teori ketidakseimbangan biokimia. Menurut teori yang diasaskan oleh Louis Berman dalam bukunya The Glands Regulating Personality, tahun 1921, pelakuan jenayah mempunyai kesan secara langsung daripada gangguan terhadap keseimbangan biokimia seseorang. Sebagai contoh, kebanyakan penyelidik berpendapat bahawa tingkah laku skizofrenia yang sering menjadi faktor kelakuan jenayah berpunca daripada keabnormalan proses biokimia dalam badan.\nBerdasarkan hasil kajian Leonard J. Hipchen dalam bukunya The Need for a New Approach to the Delinquent Criminal Problem, meskipun keabnormalan proses biokimia kerap dikaitkan dengan faktor selain daripada nutrisi (faktor genetik), nutrisi yang tidak elok juga dilihat sebagai penyebab utama terhadap ketidakseimbangan kimia.\nSatu daripada punca ketidakseimbangan kimia ialah kekurangan nutrisi yang berkualiti ataupun diet yang tidak baik. Dalam hal ini, kajian mengenai hubungan antara tingkah laku jenayah dengan nutrisi turut menemukan satu lagi bidang kajian yang mengaitkan jenayah dengan kemiskinan dan ketidakseimbangan ekonomi. Berdasarkan dapatan kajian serpihan ini, malnutrisi merupakan antara faktor penyebab pelakuan jenayah, terutamanya dalam kalangan golongan miskin. Hal ini dikatakan demikian kerana kanak-kanak daripada keluarga miskin tidak mendapat makanan yang seimbang disebabkan oleh ketidakmampuan keluarga untuk membeli atau menyediakan makanan yang seimbang dan berkhasiat. Akibatnya, mereka tidak dapat menerima vitamin yang secukupnya. Hatta, secara tidak langsung, masalah ini boleh mencetuskan keganasan dan kelakuan yang tidak rasional dalam kalangan kanak-kanak tersebut.\nFenomena ini turut dijelaskan oleh Macklin Fleming dalam artikelnya yang berjudul A Short Course in the Causes of Crime pada tahun 1979, menggariskan rasional \u2013 faktor kelaparan menyebabkan seseorang terjerumus ke arah tingkah laku jenayah. Teori ini relevan dengan contoh klasik oleh tokoh falsafah dan politik belanda Grotius, Hugo (tahun 1583 \u2013 1645) yang mengatakan, \u201cmanusia mencuri roti untuk memberikan makanan kepada anak-anaknya\u201d.\nSeterusnya, hubungan antara kandungan gula yang rendah dalam darah dengan perlakuan jenayah. Kajian ini bermula sejak tahun 1927, apabila J. La Barre dan pembantunya menjalankan beberapa siri uji kaji bagi mendalami peranan sistem deria sentral manusia dalam mengawal rembesan organ pankreas.\nBerdasarkan kajian tersebut, didapati bahawa ketidakcukupan metabolisme gula (hipoglisemia) boleh menatijahkan kondisi, yakni tahap glukosa dalam darah tidak mencukupi bagi fungsian otak dan badan secara teratur. Hal ini penting kerana otak yang tidak berfungsi dengan baik akan menyebabkan kerasionalan dan kebolehan seseorang untuk membuat pertimbangan akan merudum. Meskipun diketahui bahawa otak hanya memiliki dua peratus hingga empat peratus daripada berat badan manusia, namun otak memerlukan 25 peratus daripada pembekalan glukosa dalam badan.\nMenurut pakar nutrisi, hipoglesimia hakikatnya berpunca daripada amalan pemakanan gula yang diproses, seperti kanji dan bahan tambahan makanan yang tinggi. Amalan pemakanan yang tidak sihat ini menyebabkan berlakunya turun dan naik kandungan gula dalam darah yang ekstrem.\nMenurut J. A. Yaryura Tobias dan F. Neiziroglu, dalam kertas kajian mereka berjudul Violent Behavior, Brain Dysrhythmia, Glucose Dysfunction and New Syndrome yang diterbitkan pada tahun 1975, simptom hipoglesimia dalam kalangan penjenayah dalam penjara atau pusat pemulihan sebenarnya satu perkara lumrah. Penyataan dalam kajian ini turut disokong oleh Hippchen yang mengamati bahawa orang yang mengalami simptom hipoglesimia berpotensi untuk melakukan perbuatan mencuri, merogol, arson (bakar harta benda), serangan dan homisid (bunuh). Hipchen turut berpendapat bahawa kebanyakan mereka yang pernah disabitkan kesalahan homisid dek penyakit mental paranoid skizofrenik turut mengalami hipoglesimia.\nAmalan pemakanan pelbagai vitamin bagi pengekalan tahap kesihatan yang baik menjadi perkara lumrah dalam kalangan masyarakat global. Apatah lagi kekurangan pengambilan vitamin ini yang bukan sahaja mempengaruhi tatalaku manusia, bahkan membabitkan pelibatan diri dalam jenayah.\nSusulan daripada itu, Hippchen menjalankan satu peninjauan yang berkaitan dengan hubungan antara kekurangan vitamin dengan delinkuen juvenil. Menurut beliau, kekurangan pengambilan beberapa jenis vitamin menjadi punca kepada pelanggaran undang-undang, termasuklah ponteng sekolah dan melarikan diri dalam kalangan remaja. Tambah beliau lagi, seseorang yang didapati kurang mengambil vitamin boleh mengalami gangguan pendengaran, penglihatan dan deria lain yang serius. Tidak terhenti di situ, defisit vitamin ini juga menyebabkan tingkah laku yang ganas dan tindakan antisosial.\nSebagai contohnya, kekurangan asid nikotin atau lebih dikenali sebagai vitamin B3 boleh menyebabkan badan manusia menghasilkan taraxein (sejenis protein) dalam kuantiti yang luar biasa. R. G. Heath, menerusi artikelnya bertajuk Effect on Behavior of Humans with the Administration of Taraxein yang diterbitkan pada tahun 1957, menyatakan bahawa taraxein boleh menyebabkan epinefrin, yakni sejenis hormon komunikasi sel saraf yang bertukar menjadi bahan toksik yang boleh menjana halusinasi dan skizofrenia.\nNamun begitu, Hoffer mendedahkan melalui uji kajinya bahawa kebanyakan simptom skizofrenia sama dengan gejala pelagra, yakni kekurangan niasin atau vitamin B3. Menurut pengalaman Hoffer yang diperincikan dalam kertas kajian Biology and Crime oleh H.E. Kelly, tindakannya memberikan rawatan kepada pesakit skizofrenia dengan dos vitamin B3 yang banyak berjaya memulihkan mereka tanpa sebarang gejala penyakit mental itu.\nSementara itu, Bernheim dan Levine pula mengetengahkan kesimpulan daripada hasil uji kaji penyelidik lain dalam buku mereka berjudul Schizophrenia: Symptoms, Causes, Treatments pada tahun 1979 bahawa kegagalan pesakit skizofernia untuk mengawal penghasilan bahan halusinogen berpunca daripada kekurangan vitamin C dan vitamin E dalam badan.\nOleh itu, kajian tentang minuman alkohol tergolong di bawah teori nutrisi sebagai faktor\u00a0 jenayah dan hubung kaitnya dengan kelakuan jenayah. Secara umumnya, bagi orang bukan Islam, alkohol dilihat sebagai minuman yang berkesan untuk mengurangkan perasaan malu seseorang, terutamanya ketika sedang bersosial.\nHal ini dikatakan demikian kerana, apabila seseorang meminum alkohol, kandungan alkohol dalam darahnya akan memperlahankan fungsi sistem deria pusat dan pusat kawalan tindakan dalam otak dengan menyebabkan kehilangan oksigen pada bahagian dasar otak. Apabila pusat kawalan tindakan dalam otak menjadi perlahan, maka peminum alkohol akan bermula untuk bercakap banyak, aktif dan agresif. Dalam situasi seperti inilah seseorang itu lebih cenderung untuk melakukan jenayah.\nSebagai menyokong mekanisme dalaman ini, Russel Smith dalam artikel kajiannya Acholisme and Criminal Behavior menegaskan bahawa alkohol juga boleh menyebabkan kekejangan otak yang serius, hatta merembeskan hormon seakan-akan adrenalina. Lazimnya, penghasilan hormon tersebut dalam kadar yang banyak mengakibatkan tahap paranoia yang hiperaktif dan berbahaya. Dalam keadaan ini, seseorang akan hilang pertimbangan dan berkelakuan lebih agresif, hatta berpotensi untuk melakukan jenayah yang ganas.\nHasil daripada pelbagai dapatan penyelidik berhubung dengan teori nutrisi di sebalik perlakuan jenayah yang dikemukakan dalam penulisan ini, maka terbuktilah bahawa tingkah laku jenayah mempunyai hubungan secara langsung dengan pengambilan nutrisi. Malahan, menerusi kajian mengenai nutrisi ini ditemui pula peri pentingnya teori ketidakseimbangan biokimia. Turut dibincangkan dalam penulisan ini berkaitan dengan kesan kekurangan gula dalam darah, kekurangan vitamin dan alkoholisme yang merupakan antara fenomena penting dalam membuktikan kaitan antara nutrisi dengan kelakuan jenayah.\nOleh hal yang demikian, untuk mencegah pelakuan jenayah, seseorang itu, selain memahami dan mematuhi undang-undang jenayah, harus mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat, yakni makan makanan seimbang yang kaya dengan pelbagai vitamin dan kurangkan pengambilan gula yang telah diproses, bahan tambahan makanan dan makanan berasaskan kanji. Tidak cukup dengan itu, hindarilah daripada minuman alkohol bagi mengelakkan sebarang pelakuan jenayah yang bukan sahaja memberikan kesan kepada diri sendiri, malah orang sekeliling.\nPenulis, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor." "Tujuh Teras Utama Titik Kesatuan Sistem Pendidikan Negara \u2013 YB Fadhlina Sidek\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 \u201cKebahagiaan di dalam kelas merupakan atom pendidikan negara. Seluruh ekosistem pendidikan dan sistem penyampaian perkhidmatan perlu diperkemas demi mencapai hasrat negara.\u201d\nMenurut Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek dalam Sidang Media Khas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada petang tadi, mencari titik kesatuan dalam sistem penyampaian pendidikan, khususnya pembangunan modal insan perlu dilaksanakan dengan penuh iltizam.\nYB Fadhlina Sidek mengatakan bahawa menguruskan jangkaan umum (public expectation) merupakan satu cabaran yang harus dipikul oleh KPM untuk memastikan dasar yang sedia ada dapat ditambah baik prosesnya bagi menjamin kecekapan bersama, seiring dengan hasrat pentadbiran Kerajaan Perpaduan.\nTujuh teras utama yang akan diberikan tumpuan penuh oleh KPM adalah seperti yang berikut:\nDalam perkembangan sidang media khas bersama-sama pengurusan tertinggi KPM, beliau tegas berkata:\nPendekatan yang lebih holistik melalui proses konsultasi dan musyawarah dengan rakan strategik, serta semua pihak yang berkepentingan perlu diambil perhatian.\u201d\n\u201cDalam hal ini, saya akan memastikan keseluruhan ekosistem pendidikan dilaksanakan mengikut proses yang ditetapkan dan berlandaskan Akta Pendidikan 1996, serta peraturan yang berkaitan.\nOleh itu, KPM akan mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) seperti yang termaktub dalam akta bagi menyumbang idea dan pandangan kepada KPM dalam merangka dan menambah baik hala tuju pendidikan negara. Perkara itu turut mengambil kesinambungan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang berakhir pada tahun 2025.\nTurut hadir bersama-sama dalam Sidang Media Khas yang diadakan di Kompleks E Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ialah Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, YB Lim Hui Ying; Ketua Setiausaha KPM, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof; dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato\u2019 Haji Pkharrudin Haji Ghazali." "YTSP dan KPM Jalinkan Kerjasama Tubuh Pusat Autisme di Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u2013 \u00a0Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis melalui Pembangunan Pusat Pendidikan dan Latihan Autism (A-Heart) YTSP Perlis mengadakan hubungan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)\u00a0bagi menubuhkan sebuah Pusat Autisme\u00a0di bangunan Sekolah Kebangsaan Panggau di Perlis.\nMenurut Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Mesyuarat Lembaga YTSP Perlis yang bersidang pada penghujung bulan Oktober lalu di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur telah membuat keputusan meluluskan sejumlah peruntukan untuk membantu menyediakan kemudahan dan peralatan pembelajaran autisme\u00a0tambahan yang kekal dan utama untuk projek tersebut kelak.\nLembaga memutuskan untuk mengekal A-Heart\u00a0YTSP bersama-sama dengan Majlis Agama Islam aan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Universiti MalaysianPerlis (UniMAP) yang dipengerusikan oleh Datuk Profesor Emeritus Dr. Kamarudin Hussin.\nDemikianlah titah Tuanku Raja Muda merangkap Pengerusi YTSP Perlis\u00a0selepas berkenan berangkat bersama-sama dengan Raja Puan Muda Perlis, DYTM\u00a0Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khali yang mengadakan lawatan kerja ke Pusat Genius Kurnia KKM di Sentul Kuala Lumpur baru-baru ini.\nSementara itu, baginda turut memaklumkan bahawa pihak lembaga melantik Dato\u2019 Johari Mohd Darus, Setiausaha Kehormat YTSP Perlis dan Datuk Profesor Emeritus Dr. Kamarudin Hussin Ahli Lembaga Yayasan bagi mewakili Yayasan Tuanku Syed Putra dalam Jawatankuasa Pelaksana projek pembangunan Pusat Autisme yang akan ditubuhkan oleh KPM kelak." "SLiK 2022 Bantu DBP Memartabatkan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2013 Perhimpunan ahli linguistik di Pusat Penyelidikan Langkawi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kampus Tuanku Abdul Halim Mua\u2019zam Shah, Langkawi, Kedah pada 21 September 2022 dapat membantu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memartabatkan bahasa Melayu menerusi penyelidikan yang telah dilakukan. Perhimpunan yang dianjurkan oleh Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), DBP dan UKM ini adalah bersempena dengan Seminar Linguistik Kebangsaan (SLiK) 2022.\nYBrs. Dr. Hazami Jahari, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, ketika menyampaikan ucapan perasmiannya menyatakan bahawa bidang bahasa dan ilmu linguistik tentunya tidak terkecuali daripada menerima kesan perubahan akibat pandemik COVID-19. Pihak perancang bahasa, khususnya perancang bahasa Melayu perlu bersiap siaga dengan segala prasarana dalam menghadapi cabaran untuk pemerkasaan bahasa Melayu dalam kebiasaan baharu.\nPengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP ini juga berharap agar pertemuan ilmiah dengan perkongsian pelbagai dapatan kajian yang diperoleh ini mampu melonjakkan kewibawaan bahasa Melayu dalam menyalurkan pelbagai ilmu menerusi pelbagai ranah. Resolusi yang diperoleh pada akhir seminar pula diharap dapat membantu DBP untuk membangunkan bahasa Melayu dengan lebih baik.\nYBrs. Dr. Mardian Shah Omar, selaku Pengarah Bersama SLiK 2022 ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya pula berkata bahawa matlamat utama penganjuran SLiK 2022 ini adalah untuk menghimpunkan masyarakat linguistik di Malaysia dalam satu pertemuan pada peringkat nasional bagi membolehkan mereka bertukar-tukar fikiran dan berkongsi wawasan ilmiah tentang penyelidikan terkini masing-masing. Dengan tema \u201cBahasa Melayu dalam Era Norma Baharu\u201c, Dr. Mardian Shah Omar berharap agar SLiK 2022 ini berjaya mengumpulkan kertas kerja dan hasil penyelidikan yang meneliti kesan pandemik COVID-19 terhadap bahasa Melayu dan penggunanya dalam menghadapi era kebiasaan baharu.\nMenurut Dr. Mardian Shah Omar lagi, kesan pandemik COVID-19 ini mungkin terlihat dari pelbagai aspek kehidupan pengguna bahasa dengan berubahnya bentuk pengajaran dan pembelajaran di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi serta perubahan ekonomi dalam kehidupan masyarakat di negara ini. Oleh sebab itu, menerusi SLiK 2022, penganjur berharap agar banyak kertas penyelidikan yang dapat menghimpunkan maklumat impak kebiasaan baharu ini terhadap kehidupan manusia sejagat.\nPerhimpunan selama dua hari dalam SLiK 2022 ini berjaya menghimpunkan sebanyak 65 kertas kerja, termasuklah dua kertas ucap utama dan tiga kertas sidang pleno. Perbincangan ahli linguistik dalam SLiK 2022 meliputi pelbagai bidang, termasuklah fonetik, fonologi, morfologi, sintaksis, semantik, pragmatik dan lain-lain." "Doha Sokong Projek Tenusu Berskala Besar di Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDoha \u2013 \u201cKerjasama strategik antara Qatar dengan dapat memastikan keselamatan makanan di rantau ini selain membawa pelaburan, kepakaran dan pembangunan teknologi.\u201d\nTitah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail amat berharap agar kerjasama strategik antara Baladna Dairy Facility yang berpangkalan di Qatar dengan syarikat tempatan Malaysia dapat dilaksanakan dengan baik, rentetan daripada projek tenusu berskala besar di Lembah Chuping, Perlis.\nMenurut baginda, sekiranya projek ini dapat direalisasikan dengan jayanya, Malaysia secara tidak langsungnya dapat meningkatkan pengeluaran susu segar negara, malah dapat mengurangkan pergantungan Malaysia terhadap import tenusu.\nDemikianlah titah baginda selepas berkenan menerima taklimat khas yang dipersembahkan oleh Ahli Lembaga Pengarah Bebas syarikat Baladna Dairy Facility, Aidan Tynan yang diadakan di Hotel Hilton West Bay Doha, Qatar pada semalam.\nPada khamis yang lalu, Tuanku Raja Muda mengiringi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat melawat ladang Baladna Food Industries yang merupakan satu daripada syarikat pengeluar produk tenusu terbesar di rantau Asia Barat yang berkeluasan 2.6 juta meter persegi dan mempunyai 24 000 ekor lembu tenusu dalam persekitaran yang selesa dan berhawa dingin." "Messi dan Piala Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBintang Argentina, Lionel Messi melengkapkan koleksi kejuaraannya pada peringkat kelab dan antarabangsa selepas membantu negaranya itu menjuarai edisi Piala Dunia 2022 di bumi Qatar.\nPenyerang prolifik berusia 35 tahun itu meledak dua gol dalam aksi final yang berkesudahan dengan seri 3-3 dengan Perancis dalam tempoh 120 minit permainan sebelum La Albiceleste mengesahkan gelaran selepas menang 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi di Stadium Lusail.\nWalaupun memenangi anugerah peribadi Bola Emas sebagai pemain terbaik kejohanan, namun rekod cemerlang Messi sedikit tercalar apabila terlepas trofi Kasut Emas selaku penjaring terbanyak yang diberikan kepada tonggak Perancis, Kylian Mbappe dengan kelebihan satu jaringan. Walau bagaimanapun, hal itu dianggap sebagai perkara remeh buat Messi kerana akhirnya pemenang enam Ballon d\u2019Or itu berjaya juga mendakap Piala Dunia, satu-satunya trofi yang belum pernah dimenanginya dalam karier bersama-sama Argentina.\nMessi membuat penampilan pertama bersama skuad senior pada 17 Ogos 2005 ketika berusia 18 tahun apabila dimasukkan sebagai pemain gantian menentang Hungary dalam satu aksi persahabatan di Stadium Ferenc Puskas. Namun begitu, debut tersebut berakhir dengan penuh malang apabila pemain yang berasal dari Rosario itu cuma sempat berada dua minit di atas padang selepas masuk pada minit ke-63 sebelum dilayangkan kad merah kerana tindakannya menyiku pemain Hungary, Vilmos Vanczak.\nSejak insiden itu, Messi tidak lagi menoleh ke belakang dengan mencipta rekod demi rekod buat Argentina termasuklah menamatkan kemarau 28 tahun untuk memenangi Copa America 2021 selepas kali terakhir gergasi benua Amerika Selatan itu menjuarainya pada tahun 1993. Messi sekali lagi mencipta fenomena dan sejarah tersendiri apabila memadam penantian selama 36 tahun untuk melihat Argentina bergelar juara dunia selepas legenda negara itu, mendiang Diego Maradona menjulang trofi keramat itu sewaktu edisi Mexico 1986.\nWalau bagaimanapun, perjalanan itu tidak diraih dengan mudah apabila Messi dan rakan sepasukannya dikritik hebat gara-gara tewas mengejut 1-2 kepada Arab Saudi sewaktu aksi pembukaan Kumpulan C, di Stadium Lusail, pada 22 November lalu.\nKekalahan itu membuatkan kebanyakan penyokong mula meragui kemampuan Messi, malah turut membandingkannya dengan seteru utama, Cristiano Ronaldo yang cemerlang membantu Portugal membenam Ghana 3-2 pada aksi pertama.\nTersentak dengan situasi itu, Argentina terus memasang langkah cemerlang dalam setiap perlawanan seterusnya apabila mara ke pusingan 16 terbaik sebagai juara Kumpulan C menerusi kemenangan 2-0 ke atas Mexico dan Poland. Pada peringkat kalah mati, pasukan nombor tiga dunia itu terpaksa mengharapkan ketangkasan penjaga gawangnya dari Aston Villa, Emiliano Martinez untuk mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Australia sebelum menewaskan Belanda 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti setelah terikat dengan 2-2 dalam masa sebenar. Finalis Piala Dunia 2018, Croatia ternyata bukan lawan setanding buat Argentina yang merakam kemenangan mudah 3-0 untuk menempah pertemuan dengan juara bertahan, Perancis di pentas final.\nKini, nama Messi meniti di bibir seluruh peminat bola sepak dunia dengan julukan G.O.A.T (Greatest Athlete of All Time) berbanding dengan Cristiano Ronaldo yang terus kempunan trofi Piala Dunia selepas Portugal tersingkir pada peringkat suku akhir.\nKejohanan berprestij dunia di bumi Qatar itu semenangnya berada dalam kelas tersendiri kerana selain Messi, dunia turut menyaksikan magis daripada Maghribi apabila muncul negara pertama dari benua Afrika yang pertama melangkah ke separuh akhir dalam sejarah penganjuran Piala Dunia sejak edisi pertama pada tahun 1930. Biarpun gagal menaiki podium tetapi The Atlas Lions berjaya menyatukan seluruh Afrika dan negara-negara Arab berdasarkan prestasi hebat mereka menjuarai peringkat kumpulan sebelum menyingkirkan dua gergasi Eropah,\u00a0 iaitu Jerman dan Portugal di pusingan kalah mati.\nBoleh dikatakan semua peminat dan penganalisi sukan setiap hari memperkatakan mengenai potensi Maghribi untuk muncul juara sebelum Messi mencuri semula perhatian dunia dengan memenangi Piala Dunia kali ini. Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni tanpa berselindung berharap bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu tidak bersara daripada aksi antarabangsa dan beraksi dalam edisi Piala Dunia seterusnya yang akan diadakan di tiga buah negara, Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico pada 2026.\u00a0 Hal ini dikatakan demikian selepas bekas kapten Barcelona itu mendedahkan hasratnya untuk terus menyarung jersi keramat Argentina selepas ini.\n\u201cKami perlu kekalkan Messi untuk Piala Dunia 2026. Jika dia mahu terus beraksi, dia akan sentiasa bersama kami. Dia lebih berhak untuk menentukan sendiri hala tuju masa depannya selepas apa yang telah dilakukannya buat Argentina,\u201d kata Scaloni. \nKejayaan bergelar juara secara tidak langsung menyaksikan Argentina mendominasi senarai pemenang anugerah individu kerana selain Messi, Emiliano Martinez juga diangkat sebagai Penjaga Gol terbaik kejohanan dan Enzo Fernandez pula pemain muda terbaik kejohanan.\nAksi final tersebut juga menyaksikan satu lagi sejarah baharu tercipta apabila Kylian Mbappe menjadi pemain pertama meledak hatrik di perlawanan akhir Piala Dunia selepas legenda England, Geoff Hurst melakukannya pada tahun 1966. Hal ini tidak membawa seribu makna buat Mbappe tetapi apa yang pasti dia mempunyai masa depan yang cukup cerah memandangkan beliau masih muda dan baru berusia 23 tahun. Pada usia itu, Mbappe hanya tinggal untuk memenangi gelaran Kejohanan EURO selepas pernah memenangi Piala Dunia bersama-sama Perancis pada empat tahun lalu. Pastinya Mbappe akan memacu skuad Les Bleus dan menebus kekecewaan itu dengan menjuarai edisi Kejohanan EURO 2024 di Jerman.\nJika berjaya, hal itu akan menamatkan penantian Perancis untuk bergelar raja Eropah selepas kali terakhir memenangi Kejohanan EURO pada edisi 2000 yang dianjurkan di Belgium dan Belanda." "UiTM Cawangan Perlis Pergiat Kerjasama dengan Institusi dan Industri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis hari ini mengorak langkah dalam usaha memantapkan kerjasama dan mempergiat aktiviti dalam bidang wakaf, penulisan, penyelidikan, inovasi, penganjuran program dan pembangunan pelajar dengan menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dan Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Universitas Negeri Malang, Indonesia; Universitas Muria Kudus, Indonesia; Universitas Multi Data Palembang, Indonesia; CJ Bio Malaysia Sdn. Bhd., Malaysia; Proofreading by a UK PhD Limited Liability Partnership (LLP), Malaysia; Informology Sdn. Bhd., Malaysia; dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Malaysia.\nDua MoA yang ditandatangani dengan Universitas Negeri Malang dan CJ Bio Sdn. Bhd.\u00a0 membolehkan penyelidik dari UiTM Cawangan Perlis bekerjasama dengan rakan MoA masing-masing untuk Geran Perkongsian Penyelidikan Strategik.\nKerjasama antara UiTM dengan Universitas Muria Kudus, Indonesia, pula bermula apabila pihak Universitas Muria Kudus bersetuju untuk membantu memberikan sokongan kepada Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Cawangan Perlis dengan menyertai Festival Puisi Antarabangsa Arau 2022 sebagai rakan strategik baru-baru ini, manakala Universitas Multi Data Palembang menjadi penganjur bersama bagi Persidangan Pelajar MDP bersama-sama UiTM Cawangan Perlis.\nProofreading by a UK PhD LLP melalui perjanjian yang ditandatangani ini pula akan membantu meningkatkan kepakaran penulisan staf akademik UiTM Cawangan Perlis melalui siri webinar penulisan yang diadakan setiap suku tahun, manakala kerjasama bersama-sama pihak Informology Sdn. Bhd. akan membantu penyelidik dari UiTM Cawangan Perlis dalam membangunkan projek inovasi i-Mask.\nPihak MAIPs pula memainkan peranan penting dalam menyokong UiTM Cawangan Perlis untuk projek Dana Wakaf Ilmu menerusi perjanjian yang ditandatangani ini.\nDi sebalik MoU dan MoA pada hari ini, pihak UiTM berharap agar usaha itu terus mempertingkat kerjasama dengan rakan kongsi strategik baharu ini dalam setiap aspek dan memberikan inspirasi kepada penemuan peluang yang lebih besar untuk bergerak ke arah masa depan yang mampan.\n\u201cSemoga MoU dan MoA bersama-sama rakan strategik pada hari ini akan mewujudkan sinergi kepada kedua-dua pihak untuk mempromosikan kecemerlangan dalam pengajian tinggi terutamanya dalam penyelidikan, inovasi dan rangkaian serta pembangunan bakat yang akan menjadi masa depan masyarakat dan negara kita masing-masing,\u201d ujar Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, Rektor UiTM Cawangan Perlis sebelum mengakhiri ucapannya dalam majlis menandatangani MoA dan MoU tersebut.\nUiTM diwakili oleh Prof. Madya Ts. Dr Shukor Sanim Mohd Fauzi dan Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, Ts. Gs. Dr Ernieza Suhana Mokhtar, barisan pengurusan kanan UiTM Cawangan Perlis, serta staf bahagian lain.\nTurut hadir dalam majlis tersebut ialah Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, dan wakil daripada tujuh institusi dan industri yang hadir secara maya, termasuklah CJ Bio Malaysia Sdn. Bhd., Encik Muhammad Firdaus Arifin; Dr. Johannes Petrus, Universitas Multi Data Palembang, Prof. Dr. Hariyono, Rektor Universitas Negeri Malang; Prof. Dr. Ir. Darsono, Rektor Universitas Muria Kudus; Dr. Thavamaran Kanesan, Pengarah Urusan Proofreading by a UK PhD LLP; dan Puan Nurul Emirah Dato\u2019 Sri Alias, Pengarah Urusan Informology Sdn. Bhd." "Webinar Yayasan Tuanku Fauziah Siri 16 Bawa Mesej Kesamarataan Gender\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan perasmian Webinar Yayasan Tuanku Fauziah Siri 16 yang dilaksanakan secara hibrid pada 22 Disember 2022.\nWebinar bertemakan \u201cWomen in Search of Excellence\u201d anjuran Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia pada kali ini membawa tajuk \u201cWanita dalam Pasaran Buruh: Dilema dan Peluang\u201d yang menampilkan beberapa ahli panel undangan untuk mengupas topik melalui dua sesi forum dan juga sesi ucaptama yang disampaikan oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Dato\u2019 Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin.\nTuanku Raja Muda Perlis merangkap Penasihat DiRaja YTF dalam titah ucapan perasmian baginda secara dalam talian menitahkan bahawa pelbagai inisiatif telah dilaksanakan di segenap peringkat bagi memperkasakan wanita dengan meneroka potensi masing-masing terutama dalam sektor ekonomi dan mengarusperdanakan gender dalam setiap perancangan dan dasar kerajaan.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra amat berharap agar golongan wanita akan terus diberi peluang dalam aspek ekonomi, pendidikan, kesihatan dan juga politik supaya kesamarataan gender dalam pembangunan dan transformasi negara dapat terus dipertingkatkan. Tambah baginda,\nPihak majikan sama ada di sektor awam atau swasta, perlu lebih sensitif akan keperluan wanita dalam melaksanakan pelbagai tugas di tempat kerja, dan meneruskan tugas sebagai seorang isteri dan ibu pula di rumah.\nSesi penutupan webinar tersebut pula telah disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merupakan Pengerusi YTF sendiri.\nSebagai rekod, Webinar YTF ini diadakan pada setiap bulan secara dalam talian dengan kerjasama pelbagai agensi dan organisasi yang turut serta menganjurkan dan menjayakan webinar ini. Program ini satu daripada usaha mempromosikan peranan serta memperkasakan lagi bakat wanita dengan menampilkan panel-panel undangan yang terdiri daripada golongan wanita sendiri." "DYTM Raja Muda Perlis Bertitah Menitipkan Ucapan Sempena Hari Krismas dan Cuti Hujung Tahun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRiau, Indonesia \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda baginda berdua, iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah, YAM Sharifah Farah Adriana dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail menitahkan ucapan selamat bergembira bersama-sama seisi keluarga kepada semua rakyat negeri Perlis yang menyambut Hari Krismas pada hari esok, Ahad, 25 Disember 2022 dengan harapan semoga semangat kasih sayang, saling menghormati, bertolak ansur dan perpaduan terus segar dan sentiasa ditambah baik dalam kalangan masyarakat majmuk di negeri itu.\nDemikian titah Tuanku Raja Muda selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bernilai USD112 menurut hebahan media MAIPs, kepada Masjid At-Taqwa, Jalan Wonosari Kelurahan Kota Baru, Kecamatan Teluk Sebong Kabupaten Bintan, Kepulauan Riau yang diterima oleh Ahli Jawatankuasanya, Bapak Parlian, pagi tadi.\nBerangkat sama mengiringi baginda ialah anakanda-anakanda baginda, YAM Sharifah Khatreena Nuraniah dan\u00a0 YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra.\nPada kesempatan yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mengingatkan sekalian rakyat yang akan menggunakan minggu terakhir cuti persekolahan di hujung tahun ini untuk \u201cmakan angin\u201c atau menghantar anak-anak atau jagaan masing-masing pulang ke asrama supaya berhati-hati di jalan raya. Baginda juga bertitah supaya sentiasa membuat perancangan awal sebelum bertolak demi untuk keselamatan diri sendiri dan juga seisi keluarga tersayang." "DYTM Raja Muda Perlis Titahkan Amalan Kebersihan Diberikan Penekanan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBintan, Indonesia \u2013 Aspek kebersihan wajar terus diberikan penekanan utama untuk menarik lebih banyak pelancong berkunjung ke Perlis. Semua pihak di negeri ini mestilah saling bekerjasama untuk merealisasikannya.\nDemikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut hebahan media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan zakat MAIPs bernilai USD112 kepada Masjid Raya Nur Ilahi Provinsi Kepulauan Riau, Dompak Bukit Bestari, Tanjung Pinang, Indonesia yang diterima oleh Ketua Pengurusan Masjidnya, Dr. H. Handralin pada petang semalam. Tambah baginda:\nSetiap anggota masyarakat juga perlu bersama-sama memainkan peranan untuk mengubah sikap dalam meningkatkan amalan kebersihan masing-masing terutama sekali penjagaan alam sekitar dan premis makanan seperti kedai, warung, restoran dan lain-lain lagi. Semua premis ini wajar memastikan kualiti kebersihan dan perkhidmatan jualan makanan berada di tahap yang tertinggi sejajar dengan dinamik semasa dan harapan pelanggan.\nBerangkat sama mengiring baginda ialah anakanda-anakanda baginda, iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.\nPada kesempatan yang sama DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyarankan supaya pihak berkuasa menguatkan lagi tahap penguatkuasaan terutama sekali dalam kecekapan dan keberkesanan tindakan terhadap mereka yang mencemarkan alam sekitar di negeri ini." "Pembangunan Projek Perlu Lebih Cekap \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Perlis \u2013 \u201cSetiap pelaksanaan projek perlulah berjalan lancar dan disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, tidak kira projek tersebut berskala kecil atau besar sama ada milik kerajaan, swasta atau individu di Perlis ini.\u201d\nMenurut Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerusi siaran media Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), setiap perancangan dan pelaksanaan projek tidak wajar dilengah-lengahkan. Sekiranya berlaku sebarang isu, masalah tersebutlah perlu ditangani dengan cekap melalui pemantauan dan membuat laporan secara berkala kepada pihak yang sewajarnya, terutamanya kepada pemegang taruh inisiatif tersebut.\nSementara itu, Tuanku Raja Muda turut berharap agar sektor swasta terlibat sama secara aktif dalam pembangunan negeri ini bagi mengenal pasti dan meneroka bidang kerjasama baharu yang berimpak tinggi kepada masyarakat.\nDemikianlah titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berangkat menyampaikan sumbangan sempena program kayuhan MAIPs Peduli kepada golongan asnaf, baru-baru ini.\nBaginda berkenan menyantuni dan menyampaikan agihan zakat bernilai RM700 kepada Samsudin Abdul Rahman, 67 tahun dari Kampung Padang Besar Selatan; Abdul Dali, 68 tahun dari Kampung Kuala dan Daud Bahari, 72 tahun dari Kampung Kuala di rumah masing-masing." "Majikan Perlu Bina Hubungan Baik dengan Pekerja \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar rakyat sentiasa saling menghormati antara satu sama lain di tempat kerja.\nKunci kejayaan adalah membina hubungan kerjasama yang baik. Apabila idea dan pandangan warga kerja setempat didengari dan diambil kira, suasana yang harmoni akan terhasil.\u201d\n\u201cPada masa yang sama, penghargaan sewajarnya turut diberikan kepada rakan sekerja yang bertungkus-lumus membantu dalam menyelesaikan apa-apa jua pekerjaan. Ketidakpuasan hati warga kerja akan sekali gus mengurangkan kesetiaan pekerja terhadap organisasi yang bakal memberikan kesan terhadap kesatuan tempat kerja.\nDemikianlah titah Tuanku Raja Muda menerusi hebahan media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan berangkat menyantuni dan menyerahkan agihan zakat MAIPs kepada Bunga Hamid, 71 tahun yang tinggal di Jalan Padang Melangit bersama keluarganya, baru-baru ini. Beliau merupakan seorang penerima Bantuan Sara Hidup Berkala MAIPs dan juga Bantuan Baik Pulih Rumah MAIPs.\nSementara itu, Tuanku Raja Muda turut menyarankan agar proses perancangan organisasi yang dilakukan pada setiap peringkat bagi mewujudkan peri pentingnya mereka dalam sesebuah organisasi.\nTegas baginda,\nSetiap organisasi perlu mengamalkan hak sama rata antara kakitangan. Jangan sesekali membezakan mereka. Ketidakadilan yang melampau akan memberikan kesan langsung kepada produktiviti pekerja, sekali gus mewujudkan kebencian dan juga perpecahan dalam kalangan warga organisasi." "Gangguan Seksual: Berdiam atau Beranikan Diri?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMutakhir, isu gangguan seksual kian hangat diperkatakan dalam kelompok masyarakat. Perkara ini dibuktikan melalui statistik kes gangguan seksual dan keganasan yang amat membimbangkan, terutamanya di Malaysia. Perubahan yang membawa kepada peningkatan angka yang tidak dijangka, membuatkan masyarakat semakin bimbang apabila emnyentuh tentang isu ini.\nMenurut Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, gangguan seksual didefinisikan sebagai satu daripada tingkah laku berbentuk seksual yang memberikan kesan kepada mangsa sama ada dalam bentuk ugutan dan ancaman terhadap ketenteraman\u00a0 peribadi.\u00a0Kes gangguan seksual ini sering melibatkan golongan wanita sebagai mangsa. Namun begitu, kes gangguan seksual tidak hanya tertumpu kepada golongan wanita, malah golongan lelaki juga tidak terkecuali daripada berhadapan dengan kes ini.\nDi Malaysia, hampir 80 peratus kes yang melibatkan serangan dan gangguan seksual dalam kalangan wanita tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa. Gangguan seksual bukan sahaja berlaku di tempat tersembunyi, malah membabitkan tempat awam dan tempat kerja. Dalam erti kata lain, gangguan seksual boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja.\n\nTidak kira wanita ataupun lelaki, dewasa ataupun kanak-kanak, pekerja ataupun majikan, guru ataupun pelajar, serta individu dan ahli keluarga sendiri sekalipun, berkemungkinan akan menjadi individu yang melakukannya, atau menjadi mangsa kepada kes gangguan seksual ini.\nTidak dinafikan bahawa masih ada segelintir masyarakat yang belum celik tentang perkara ini. Mereka beranggapan bahawa gangguan seksual ini tidak mendatangkan sebarang kesan atau implikasi yang serius dalam kalangan masyarakat. Bahkan, ada segelintir yang memandang enteng terhadap isu ini kerana mereka sudah biasa dengan norma yang membawa kepada berlakunya kes gangguan seksual ini.\nBerdasarkan kajian yang dijalankan oleh Azura dan Ahmad Izzudin Fahmi (2010) menunjukkan bahawa bentuk gangguan seksual yang paling banyak berlaku adalah gangguan yang berbentuk lisan (47.1%), seperti gurauan lucah dan pujian berbaur seksual, dan diikuti gangguan berbentuk gangguan fizikal (33.3%), seperti meraba dan melakukan sentuhan berunsurkan seksual. Selain itu, bentuk gangguan seksual lain yang berlaku, termasuklah berunsur seksual yang bermaksud memuji (20%), kata-kata berunsur seksual yang bermaksud mencaci (16%), pandangan atau isyarat berunsur seksual yang bermaksud mencaci (12%), pandangan atau isyarat yang bermaksud memuji (10%), paksaan untuk mengadakan temu janji (7%) dan sentuhan yang bermaksud seksual (5%).\nIroninya, mangsa akan mengalami mimpi ngeri, malah berkemungkinan boleh menyebabkan suatu peristiwa hitam bagi dirinya. Kehidupan yang pada mulanya dilalui dengan baik, namun dicacatkan dengan perilaku yang mengundang ketakutan dalam tempoh yang panjang mahupun pendek. Sebagai contoh, gangguan seksual boleh menyebabkan seseorang wanita itu berada dalam keresahan, tekanan dan kemurungan sehingga boleh membawa kepada cubaan membunuh diri apabila bebanan emosi yang mereka hadapi tidak dapat dikawal.\nDalam hal ini, wanita banyak menjadi mangsa gangguan seksual, namun tidak ramai antara mereka yang berani tampil ke hadapan untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa. Hal ini dikatakan demikian kerana timbulnya perasaan malu untuk berhadapan dengan persepsi negatif masyarakat yang menuding jari kepada mangsa, rasa terancam dengan ugutan dari si pelaku dan bimbang akan dibuang kerja dalam sesebuah organisasi. Dalam sesetengah kes, mangsa tidak melaporkan kejadian tersebut kerana kesedaran mereka terhadap hak dan peruntukan undang-undang masih berada pada tahap yang rendah.\nAntara faktor yang menyebabkan gangguan seksual tidak dilaporkan, termasuklah mangsa bimbang tindakan tersebut tidak diambil secara serius, tidak dinaikkan pangkat, risau akan menerima amaran atau kes direkodkan, bimbang diberhentikan kerja dan disebabkan malu akan menjadi bahan sindiran oleh masyarakat luar. Ada antara mangsa yang tidak berani tampil ke hadapan untuk mendapatkan pembelaan yang sewajarnya dan mengambil keputusan untuk melupakan sahaja kes yang melibatkan keselamatan diri mereka itu kerana menganggapkan bahawa tiada sesiapa yang akan membantu berjuang bersama demi membela nasib mereka.\nWalau bagaimanapun, ada juga mangsa kes gangguan seksual ini yang berani untuk tampil menyuarakan tentang kejadian yang mereka alami. Mereka berfikir bahawa perkara yang terjadi bukan berpunca daripada diri mereka sendiri sehingga membuatkan mereka tidak mempunyai suara untuk menyatakan hak mereka. Mereka juga berfikiran jauh, sekiranya bukan mereka yang mengetengahkan isu ini, sudah tentu tidak ada individu lain yang akan mempertahankan hak mereka. Mangsa yang bertindak berani juga tidak mahu perkara yang sama berlaku kepada orang lain, dan disebabkan itulah mereka berfikir bahawa pengajaran perlu diberikan kepada pelaku supaya dapat menegakkan keadilan.\nMeskipun begitu, mangsa gangguan seksual ini memilih untuk berani mengekspresikan apa-apa yang mereka lalui pada detik mereka diganggu dengan unsur seksual adalah disebabkan oleh faktor keluarga. Umum mengetahui, keluarga merupakan institusi yang sentiasa akan bersama-sama seseorang individu itu tidak kira dalam keadaan senang mahupun susah. Oleh hal yang demikian, dorongan daripada ahli keluarga sedikit sebanyak memberikan impak kepada mangsa untuk berani melaporkan tentang kejadian yang mengganggu mereka. Sebagai contoh, ahli keluarga berperanan untuk memberikan cadangan kepada mangsa bagi mengumpulkan bukti berkaitan dengan gangguan yang dialami, sebelum membuat keputusan untuk melaporkan kes tersebut kepada polis.\nGangguan seksual tidak boleh dibiarkan terus berleluasa sehingga membawa kesan negatif kepada mangsa dan masyarakat. Bagi mangsa, tidak salah untuk berani ke hadapan menyuarakan kebenaran. Sebagai masyarakat pula, kita haruslah berfikir secara meluas dan matang bahawa kes ini perlu ditangani sebelum menjadi lebih parah. Tambahan pula, perilaku generasi kini yang semakin hari, semakin membimbangkan, dikhuatiri akan terus berlarutan tanpa ada penghujungnya. Kes gangguan seksual perlu dibendung untuk membuka mata dunia bahawa setiap pesalah harus diberikan hukuman, manakala yang pihak benar, iaitu mangsa berhak mendapatkan keadilan yang sewajarnya." "Anugerah Platinum AceTVET Peringkat Kebangsaan Bukti Usaha Cemerlang Warga KVSP2\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani \u2013 Majlis penerimaan sumbangan kereta Mazda CX-5, iaitu hadiah Anugerah Plantinum AceTVET Peringkat Kebangsaan telah berlangsung di Kolej Vokasional Sungai Petani 2 (KVSP2), Kedah.\nPenyerahan kereta tersebut yang berharga kira-kira RM180 000 berlangsung di hadapan pintu masuk KVSP2 dan disampaikan oleh Penolong Pengurus Latihan Teknikal B Auto Prima Merdu Sdn. Bhd, Butterworth, Pulau Pinang, iaitu Hashim Abdul Rahman.\nPengarah KVSP2, Majmin Md. Noor berkata, pihaknya begitu terharu dan gembira kerana menerima hadiah setelah memenangi tempat pertama Pertandingan AceTVET 2021 anjuran Bahagian Pendidikan Latihan Teknikal Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).\n\u00a0\nJelas beliau, sebanyak 86 Kolej Vokasional (KV) dan sembilan buah Sekolah Menengah Teknik (SMT) dari seluruh negara menyertai pertandingan itu.\nKVSP2 mempunyai hampir 1 000 pelajar dengan 119 orang Pensyarah.\n\u201cKemenangan dan hadiah diterima sudah tentu menjadi satu kenangan serta inspirasi baharu kepada KV dan SMT lain untuk sama-sama melakukan aktiviti terbaik bagi mendapat hadiah tersebut pada masa akan datang.\nMenurutnya lagi, sebuah panel telah dilantik khas oleh KPM yang hanya akan memilih sebuah KV atau SMT untuk menerima hadiah berkenaan.\nAceTVET merupakan medium untuk mengukur, menilai dan menentukan standard kualiti kecemerlangan KV yang mula diguna pakai bermula pada tahun 2018 lagi bagi mengenal pasti tahap, status kualiti, kecemerlangan, standard yang telah dicapai, kekuatan dan kelemahan diikuti perancangan untuk penambahbaikan.\nAceTVET juga merupakan penilaian kendiri yang merangkumi lapan bahagian, iaitu Pengurusan Organisasi, Pelibatan, Pencapaian, Program Pengantarabangsaan, Reka Cipta dan Inovasi, Pertandingan Kemahiran dan Keusahawanan. Pencapaian skor dikategorikan kepada empat kedudukan bintang, iaitu Platinum, Emas, Perak dan Gangsa dan proses penilaian ini mengambil tempoh masa setahun.\nKemenangan AceTVET mengambil kira elemen dan semua aspek dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMG2), Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dan SekolahKu Sejahtera. Pelaksanaan AceTVET ini menggunakan peruntukan Dasar Sedia Ada (DSA).\nSesungguhnya, usaha yang dilakukan tanpa mengenai erti jemu dan bosan selama ini, akhirnya membuahkan hasil sehingga menceriakan semua pelajar dan petugas di KVSP2 sendiri.\nTurut hadir dalam majlis tersebut ialah wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Ismail Othman, Yang Dipertua Majlis Permuafakatan Ibu Bapa dan Guru (MPIBG) KVSP2, Kapten Mohd Saftar Mohd Saad dan Presiden Alumni KVSP2, Mohd Farizan Mohd Saad." "SLiK 2022 Atasi Isu Pengajaran Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLANGKAWI \u2013\u00a0Bersempena dengan Seminar Linguistik Kebangsaan (SLiK) 2022 yang diadakan selama dua hari bermula pada 21 September 2022, beberapa orang pembentang berjaya membentangkan hasil dapatan masing-masing untuk menyelesaikan isu dalam pengajaran bahasa Melayu. Pembentang lain pula banyak memfokuskan isu kebahasaan yang lebih teknikal dalam pelbagai bidang linguistik, seperti fonetik, fonologi, morfologi, sintaksis, semantik, pragmatik dan lain-lain.\nDr. Azizul Ismail, Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa, Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membentangkan dapatan kajiannya tentang kebolehterimaan pengajaran kursus bahasa Melayu secara dalam talian. Seperti yang dimaklumi oleh semua pihak, pandemik COVID-19 membawa norma baharu dari aspek medium pengajaran, termasuklah kursus bahasa Melayu, iaitu secara dalam talian.\nSelepas berbulan-bulan melalui fasa pembelajaran secara dalam talian ini, Dr. Azizul Ismail mendapati bahawa banyak responden dalam kajian yang dilakukannya mulai selesa dengan kaedah sebegini. Walau bagaimanapun, peratusan responden yang menginginkan pembelajaran secara bersemuka masih melebihi peratusan responden yang menginginkan pembelajaran secara dalam talian. Oleh sebab itu, Dr. Azizul Ismail mengemukakan kaedah hibrid, iaitu gabungan secara bersemuka dan secara dalam talian sebagai kaedah terbaik untuk pengajaran kursus bahasa Melayu.\nDr. Noorul Khairien Abdul Malek dari Institut Pendidikan Guru pula mengemukakan permasalahan pelajar yang tidak mampu menguasai istilah kejuruteraan dalam bahasa Melayu.\nApabila pelajar membaca buku teks, mereka tidak memahami istilah tersebut kerana kebanyakan istilah tersebut dibentuk secara terjemahan langsung menerusi penyesuaian bunyi dalam bahasa Melayu. Maka itu, pelajar sukar menggambarkan istilah yang dibaca.\nKeadaan ini berbeza daripada negara maju di seluruh dunia yang menggunakan istilah dalam bahasa ibunda yang membolehkan masyarakatnya mudah memahami setiap istilah yang dicipta. Dalam kajian yang dilakukannya, pembentang ini menyarankan penggunaan leksikal daripada bahasa ibunda yang mampu meningkatkan tahap visualisasi pelajar, seterusnya memudahkan pelajar menguasai istilah dalam bidang kejuruteraan.\nBagi Sofia Hani Izyan Mohd Sopian dari Pusat Pemajuan Kompetensi Bahasa, Universiti Putra Malaysia, isu pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan pelajar antarabangsa bukanlah suatu perkara asing di universiti. Tempoh pembelajaran yang singkat antara punca yang menyebabkan pelajar antarabangsa sukar mempelajari, apatah lagi menguasai bahasa Melayu. Proses pembelajaran pula banyak bergantung pada guru bahasa Melayu semata-mata. Bagi mengatasinya, pemakalah ini memperkenalkan kaedah suku kata berwarna yang dapat membantu pelajar antarabangsa membunyikan suku kata dengan betul.\nDurgadevi Kupusamy dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya pula mendedahkan masalah kemahiran bertutur yang rendah dalam pengajaran bahasa Melayu yang dihadapi oleh murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Masalah ini berada pada tahap yang agak membimbangkan.\nMurid lebih cenderung untuk membuat terjemahan langsung daripada bahasa ibunda mereka apabila bertutur dalam bahasa Melayu. Hal ini menyebabkan murid tidak mampu menyebut satu-satu perkataan dengan betul. Oleh sebab itu, pembentang ini mengemukakan penggunaan aplikasi tertentu yang boleh dimuat turun secara percuma yang dapat diubah suai berdasarkan konsep pengajaran dalam bahasa Melayu.\nMenerusi SLiK 2022 ini, penganjur berharap agar setiap hasil penyelidikan yang dibentangkan ini tidak berakhir begitu sahaja, sebaliknya dapat diteruskan dengan penulisan yang lebih mendalam dari aspek analisis supaya dapat dihantar kepada mana-mana jurnal yang berkaitan, seperti Jurnal\u00a0Linguistik." "Kemenangan Argentina: Kegembiraan Sementara yang Mengalpakan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPertandingan Bola Sepak FIFA Piala Dunia Qatar 2022 telah melabuhkan tirainya pada 18 Disember yang lalu. Argentina telah dinobatkan sebagai juara Piala Dunia dan kepulangan wira negara tersebut telah dinantikan dan disambut dengan begitu meriah oleh lebih kurang empat juta orang rakyat Argentina yang berkumpul di sepanjang jalan di Buenos Aires. Sebagai langkah keselamatan disebabkan jumlah yang begitu ramai menyambut kehadiran pemain tersebut, pemain negara tersebut terpaksa menaiki helikopter dan terbang di semua laluan tempat peminat mereka berkumpul sebagai menghargai sambutan yang diberikan.\nIni merupakan kali ketiga Argentina menjuarai Piala Dunia. Negara tersebut pernah menjadi juara pada tahun 1978 dan tahun 1986. Pada tahun 1978, pertandingan Piala Dunia tersebut telah diadakan di Argentina sendiri, apabila telah mengalahkan Belanda 3-1 pada perlawanan akhir. Wira Argentina pada masa tersebut ialah Mario Kempes. Pada tahun 1986, pertandingan berlangsung di Mexico dan Argentina sekali lagi menjadi juara setelah mengalahkan Jerman Barat 3-2. Wira Argentina pada masa itu ialah mendiang Diego Maradona.\nArgentina juga pernah mendapat tempat kedua dalam kejuaraan Piala Dunia sebanyak tiga kali, iaitu pada tahun 1930, 1990 dan 2014. Dalam sejarah Piala Dunia sebanyak 18 kali, Argentina telah memenangi 47 daripada 88 perlawanan. Oleh hal yang demikian, kehebatan Argentina dalam bola sepak sememangnya tidak dapat disangkal lagi.\nNamun begitu, dalam aspek ekonomi, prestasi Argentina sangat jauh berbeza dan amat mengecewakan. Hal ini agak menghairankan kerana pada penghujung abad ke-19, negara tersebut berada dalam kalangan 10 buah negara terkaya di dunia. Bahkan, negara ini pada masa itu lebih kaya berbanding dengan Perancis, Itali, Jepun dan juga Jerman.\nAntara industri yang menyumbang kepada pendapatan negara tersebut ialah pertanian, khususnya sektor daging lembu, gandum dan hasil-hasil ladang lain yang dijalankan oleh tenaga kerja yang berpendidikan. Kebanyakan eksportnya adalah ke Amerika Syarikat dan Eropah. Namun begitu, kini Argentina tidak lagi berada dalam kalangan negara kaya. Bahkan Argentina terkenal sebagai salah sebuah negara yang sangat bermasalah dari aspek ekonomi dan kewangan.\nSebagai contoh, semenjak Argentina menyertai Tabung Kewangan Dunia (IMF) pada 1956, Argentina telah meminta dan bersetuju menerima 22 program sokongan kewangan daripada organisasi tersebut. Insiden kewangan yang paling ketara ialah semasa krisis kewangan pada tahun 2001 apabila Argentina gagal membayar pinjaman IMF sebanyak A.S.$21.6 bilion, selain gagal membayar hutang bernilai A.S.$95 bilion kepada pemiutang lain.\nSebenarnya, kejatuhan ekonomi Argentina telah bermula semenjak tahun 1930-an lagi. Puncanya ialah kerana kebergantungan Argentina kepada pasaran Amerika Syarikat dan Eropah yang mengakibatkan ekonomi Argentina merosot teruk apabila Amerika dan Eropah dilanda krisis ekonomi yang dipanggil \u201dThe Great Depression\u201d antara tahun 1929 hingga 1939. Eksport Argentina telah menjunam dan akibatnya, sumber pendapatan kerajaan dalam bentuk cukai eksport dan import juga menjunam.\nKeadaan ekonomi yang teruk seterusnya telah mengakibatkan krisis politik yang serius di Argentina sehingga bermulalah satu era baharu di negara tersebut apabila pihak tentera telah campur tangan secara aktif dalam pentadbiran negara.\nPada tahun 1978, tahun yang menyaksikan Argentina memenangi pertandingan bola sepak Piala Dunia buat pertama kalinya, masalah inflasi negara tersebut bertambah teruk dan telah meningkat ke tahap 600 peratus. Rakyat yang tidak berpuas hati dengan keadaan tersebut telah memprotes. Malangnya, kerajaan tentera telah bertindak ganas terhadap pengkritik yang kebanyakannya terdiri daripada kalangan yang berhaluan kiri. Banyak pemimpin daripada kalangan ini telah dibunuh oleh pemerintah tentera dengan kejam. Fasa ini dikenali sebagai \u201cPerang Kotor\u201c atau \u201cDirty War\u201d. Dianggarkan juga 30 000 orang rakyat Argentina telah \u201chilang\u201c tanpa diketahui sebab dan nasib mereka.\nArgentina sekali lagi menjuarai pertandingan bola sepak Piala Dunia pada tahun 1986 dan bintang bola sepak Diego Maradona menjadi kebanggaan semua rakyat Argentina. Walau bagaimanapun, masalah ekonominya terus meruncing. Pada tahun 1989, inflasi telah mencapai kadar 5000 peratus. Keadaan sosial menjadi gawat dengan tunjuk perasaan berlaku di merata-rata tempat. Banyak pasar raya diserbu oleh perusuh yang kelaparan akibat kemiskinan dan kemelaratan hidup.\nPada akhir 1990-an, Argentina telah menghadapi keadaan kemelesetan ekonomi yang serius dengan kadar pengangguran hampir 15 peratus. Kutipan cukai oleh kerajaan menurun akibat keadaan ini. Di samping itu, Argentina juga menghadapi masalah lain seperti rasuah dan hal ini telah menyebabkan peningkatan dalam perbelanjaan serta hutang kerajaan. Pada tahun 1998, ekonomi Argentina telah menguncup sebanyak kira-kira 28 peratus.\nArgentina turut terkesan akibat krisis kewangan di Asia Timur pada tahun 1997 dan krisis kewangan Rusia pada tahun 1998. Pemilik modal telah tergesa-gesa keluar dari Argentina dengan menjual mata wang Peso dan menukarkannya kepada Dolar Amerika. Namun begitu, pihak berkuasa Argentina mahu melindungi rizab Dolarnya, dan oleh sebab itu\u00a0 mereka telah membekukan pengeluaran Dolar Amerika dari bank pada penghujung tahun 2001. Polisi yang terkenal dengan nama Corralito ini membuat rakyat marah dan rusuhan teruk telah berlaku sehingga mengakibatkan puluhan nyawa terkorban.\nArgentina juga gagal menjelaskan hutang yang berjumlah hampir A.S.$100 bilion yang merupakan kes kegagalan membayar hutang (default) yang paling besar di dunia pada masa tersebut.\u00a0 Hal ini memberikan tamparan hebat kepada imejnya dan mengakibatkan negara tersebut dipinggirkan daripada pasaran kewangan dunia. Ekonomi Argentina terus merosot dengan kadar penganggurannya telah meningkat melebihi 20 peratus. Di samping itu, masalah kebuluran dan kelaparan serta kekurangan zat makanan berleluasa walaupun sebenarnya negara itu mempunyai ladang gandum dan soya yang banyak. Rusuhan dan rompakan turut merebak ke ibu kota Argentina.\nPenguncupan ekonomi Argentina sehingga sebanyak 20 peratus telah menyebabkan ribuan anak muda berhijrah ke Eropah untuk mencari rezeki. Rakyat yang kelaparan merasa bingung kerana banyak ladang mengeluarkan bijirin makanan, namun kebanyakan daripada bijirin tersebut dieksport keluar oleh pengusaha.\nPada tahun 2008, kerajaan Argentina telah menaikkan cukai eskport ke atas keluaran pertanian daripada 35 peratus menjadi 44 peratus.\u00a0 Langkah itu adalah untuk menambahkan sumber kewangan kerajaan dan juga untuk mendapat sokongan rakyat miskin yang menderita. Akan tetapi, tindakan ini membuatkan pengusaha pertanian berang kerana polisi tersebut memberi kesan negatif kepada perniagaan mereka. Tambahan pula, kebanyakan daripada pengusaha ini berhutang dengan industri perbankan dan perlu membayar balik hutang tersebut melalui pendapatan yang diperoleh daripada eksport luar negara.\nAntara tahun 2007 hingga 2015, Argentina dipimpin oleh Presiden Cristina Kirchner. Beliau gemar menipu dan tidak mengakui kesahihan data-data ekonomi yang menunjukkan prestasi ekonomi negara yang teruk. Beliau juga mempunyai reputasi sebagai pemimpin yang korup. Maka, tidak hairanlah apabila kerajaan beliau tidak berjaya menyelesaikan masalah.\nPolisi kerajaan di bawah Presiden Mauricia Macri yang memerintah dari tahun 2015 sehingga 2019 juga gagal menyelesaikan masalah ekonomi. Polisi beliau mengakibatkan masalah kenaikan kos sara hidup. Pada bulan Jun 2016, harga barangan meningkat sebanyak 4.2 peratus dalam tempoh satu bulan sahaja.\nPada masa ini, Argentina berada di bawah pimpinan Presiden Alberto Fern\u00e1ndez. Beliau masih gagal menyelesaikan masalah inflasi. Bahkan, hal tersebut semakin serius dengan kadar menghampiri 100 peratus. Selain itu, hampir 40 peratus rakyatnya terdiri daripada\u00a0 golongan miskin. Alberto Fern\u00e1ndez telah cuba menstabilkan kedua-dua mata wang dan ekonomi dengan menyekat atau mengenakan cukai eksport komoditi utama negara terhadap barangan pertanian seperti soya, daging dan gandum, namun masalah tersebut masih tidak selesai dengan sepenuhnya. Bahkan ada yang berpendapat langkah perlindungan ekonomi oleh beliau itu hanya memburukkan lagi keadaan. Di jalan-jalan di Buenos Aires dan bandar-bandar lain, jumlah gelandangan dan golongan yang terdesak berusaha mencari rezeki dengan mencari tong sampah dan produk kitar semula didapati telah meningkat secara drastik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.\nHakikat kehidupan masyarakat di Argentina sebenarnya amat perit walaupun mereka menjuarai Piala Dunia. Berdasarkan huraian dan penjelasan kepada masalah ekonomi Argentina yang telah berlarutan sekian lama, beberapa pengajaran utama dapat dirumuskan. Pertama, jika sistem ekonomi dan kewangan negara bersandarkan sistem riba dan industri hutang, maka ekonomi negara berkenaan lambat laun akan bertambah teruk dan rakyat akan sengsara walaupun negara mempunyai banyak hasil mahsul.\u00a0 Kedua, rampasan kuasa oleh tentera atau apa-apa langkah yang tidak demokratik bukan sahaja tidak akan menyelesaikan masalah, malah akan membuka ruang kepada kezaliman yang membuatkan rakyat lebih sengsara.\u00a0 Ketiga, pemimpin yang tidak bercakap benar atau suka menipu dan beramal dengan rasuah akan membuatkan keadaan bertambah teruk. Akhir sekali, jika negara berjaya dalam arena sukan, rakyat akan mudah disibukkan dengan isu sukan dan kurang memikirkan tentang perkara penting dalam kehidupan. Akhirnya rakyat akan lebih senang menjadi mangsa manipulasi pemimpin yang korup.\nProfesor Dr. Nazari ismail, ialah\u00a0Profesor Kehormat, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya." "Dimensi Baharu KPM: Tumpuan kepada Isu Teras\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pendidikan (KPM) tidak bercadang untuk melaksanakan dasar baharu pada masa ini, sebaliknya mahu memberikan tumpuan dalam soal untuk menangani perkara yang berbangkit berkaitan dengan isu pendidikan.\nMenteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, menjelaskan bahawa amat penting bagi kementerian pimpinan beliau meneruskan dasar sedia ada dan pada masa yang sama turut memberikan tumpuan kepada beberapa isu teras yang menjadi tumpuan masyarakat.\n\u201cSetiap kali pertukaran kerajaan berlaku, pertanyaan yang paling besar ialah berkaitan dengan arah tuju KPM selepas ini dan semestinya tumpuan kita seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim mengenai isu ekonomi serta kos sara hidup,\u201c jelas beliau. Tambah beliau, pada ketika ini, KPM tidak berhasrat untuk melaksanakan apa-apa dasar baharu, namun akan memberikan tumpuan kepada hal ehwal ekonomi dan kos sara hidup yang sebenarnya turut memberikan kesan kepada KPM dan seluruh warga dalam bidang Pendidikan.\nBeliau menjelaskan hal tersebut dalam program Ruang Bicara yang disiarkan secara langsung di Bernama TV pada malam ini. Mengulas dengan lebih lanjut, YB Fadhlina Sidek berkata, keutamaan KPM pada ketika ini adalah untuk memberikan tumpuan kepada tujuh teras utama yang perlu diterjemahkan dalam gerak kerja KPM selepas ini.\nJelas beliau, tujuh teras utama itu amat penting untuk dijadikan landasan dan peluncuran kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang akan berakhir pada tahun 2025.\n\u201cSistem penyampaian yang dilaksanakan mestilah efektif, selain beban guru yang menjadi perbincangan hangat dalam kalangan warga pendidik. Sebenarnya dalam tempoh 23 hari saya memegang jawatan sebagai menteri, kita banyak mendengar dan mendapatkan input daripada pihak yang berkaitan,\u201d jelas beliau.\nTambah beliau, sistem penyampaian sedia ada sememangnya menjadi isu utama dalam tujuh teras yang akan dilaksanakan oleh KPM kelak. Selain itu, beliau akan mempopularkan konsep \u201ckaramah insaniah, murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera\u201c.\n\u201cUntuk sampai kepada konsep ini, sistem penyampaian perlulah berada pada landasan yang betul, selain beban guru yang perlu ditangani, sekali gus dapat memberikan tumpuan terhadap keupayaan dasar pendigitalan dalam pembelajaran. Oleh itu, kita perlu mempersiapkan prasarana dan infrastrukturnya,\u201c jelas beliau.\nDalam program bual bicara tersebut, beliau turut menyentuh isu pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Jelas beliau, Ibu bapa perlu memberikan ruang kepada PBS sebelum meneliti keperluan untuk mengembalikan sistem peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).\nYB Fadhlina Sidek berkata, beliau antara individu yang gembira apabila PBS dilaksanakan kerana sistem pendidikan negara sebelum ini terlalu berorientasikan peperiksaan.\n\u201cKita perlu memberikan ruang kepada PBS dan akan melihat proses anak-anak ini dalam tempoh sehingga tamat kitaran PBS. Selepas itu, kita akan melihat keperluan atau sebaliknya untuk mengembalikan peperiksaan ini,\u201c jelas beliau. Menurut beliau, PBS sedia ada masih terdapat ujian akhir akademik, namun bukan seperti UPSR atau PT3, tetapi turut menilai aspek lain termasuklah kemahiran sosial dan bakat murid.\nYB Fadhlina Sidek turut menjelaskan bahawa, PBS merupakan pentaksiran bersifat holistik yang bukan sahaja berkisar tentang soal akademik semata-mata, sebaliknya turut membabitkan aspek sosial, kesihatan serta tahap penguasaan murid.\n\u201cSaya fikir kita sudah menuju kepada satu dimensi baharu, iaitu apabila kita memperkenalkan PBS, aspek tersebut sebenarnya memberikan banyak manfaat. Oleh itu, apabila kita beralih kepada pentaksiran ini, antara kelebihannya termasuklah dapat memberikan autonomi kepada sekolah dan guru kerana pentaksiran ini berlangsung antara guru dengan murid serta guru dengan bilik darjah. Maka, autonomi itu perlu ada,\u201c jelas beliau.\nDalam sesi tersebut yang menampilkan Encik Sherkawi Jirim sebagai moderator, YB Fadhlina berpandangan bahawa sebarang pelaksanaan atau perubahan kurikulum perlu melalui proses rundingan dengan pembabitan pemegang taruh seperti pakar pendidikan sebelum hal tersebut diputuskan.\n\u201cLandasan penting untuk kita melihat kejayaan atau keberkesanan dan impak adalah dengan merujuk laporan Pelan Pembangunan Pendidikan yang akan berakhir pada tahun 2025. Yang paling penting kini,KPM akan memastikan apa-apa sahaja dasar yang hendak diperkenalkan selepas ini perlu diteliti dengan sebaik-baiknya termasuklah soal infrastruktur yang lengkap dan ekosistem pembelajaran yang sistematik,\u201c jelas beliau semasa mengakhiri program bual bicara tersebut." "Pele: Perginya Ikon Bola Sepak Global\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPele, superstar global pertama bola sepak telah meninggal dunia pada usia 82 tahun. Bagi ramai peminatnya, pemain Brazil itu sentiasa dikenang sebagai pemain terbaik yang pernah berada dalam pasukan negara tersebut.\nPele merupakan simbol bola sepak yang bermain dengan penuh semangat. Dia membantu membentuk imej permainan yang sehingga kini bukan sahaja mengagumkan para peminatnya, malah sering mendapat perhatian daripada pengulas sukan dunia terutamanya dalam arena bolak sepak global.\nPele bukan sahaja diiktiraf sebagai pemain yang hebat dalam bidang yang diceburinya, malah turut dianggap sebagai ikon budaya di negaranya. Sesungguhnya, dia kekal sebagai wajah murni dalam bola sepak yang wujud lama sebelum isu \u201cwang besar\u201d dan geopolitik global menyusup ke dalam permainan.\nBukti yang meletakkan beliau sebagai seorang daripada legenda bola sepak dunia ialah mantan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama merupakan antara individu yang telah memberikan penghormatan terakhir kepadanya semasa hari kematian, termasuklah beberapa pemimpin ternama lain dan Presiden Brazil sendiri.\nHari-hari Awal di Santos\nPele dilahirkan sebagai Edson Arantes do Nascimento di Sao Paolo, Brazil pada tahun 1940. Tahun-tahun awalnya adalah sama seperti kebanyakan pemain bola sepak yang mendahuluinya kemudian diikuti oleh pemain lain yang mengikuti jejak langkahnya. Dilahirkan dalam sebuah keluarga yang miskin, dia kemudiannya diperkenalkan kepada permainan itu oleh seorang daripada ahli keluarganya sehingga dirinya menjadi \u201ctaasub\u201d dengan sukan yang mengajarnya tentang kehidupan dan memberinya peluang keemasan dalam dirinya itu.\nPele buat pertama kali menyertai sukan bola sepak menerusi pasukan belia pada tahun 1953 apabila dia menandatangani kontrak untuk sebuah kelab tempatan, iaitu Bauru yang menjadi kelab profesional pertamanya. Santos dianggap sebagai tempat yang mendorong Pele ke arah menjadi pemain bertaraf bintang. Setelah berpindah ke sana pada tahun 1956, dia menyertai sebanyak 636 perlawanan dan menjaringkan sebanyak 618 gol dalam perlawanan yang disertai olehnya. Pele juga merupakan pemain yang setia di bawah satu kelab pada ketika itu.\nJauh sebelum kejayaan bintang zaman moden seperti Cristiano Ronaldo atau Erling Haaland, Pele telah mencipta jaringan gol yang menandakan dia berbeza daripada pemain lain di negaranya kerana mempamerkan tahap kemahiran yang berbeza walaupun pada hari ini terdapat pengulas bola sepak dunia yang meletakkan gelaran pemain Terhebat Sepanjang Zaman (Greatest of All Time) kepada Lionel Messi dan Diego Maradona. Namun begitu, Pele tetap berada dalam kelasnya yang tersendiri sebelum itu.\nDalam tempoh setahun menandatangani kontrak untuk Santos, Pele membuat penampilan sulungnya untuk Brazil, kurang tiga bulan daripada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-17. Dia menjaringkan gol dalam perlawanan itu ketika menentang pasukan Argentina, dan 65 tahun kemudian dia kekal sebagai penjaring termuda buat pasukan kebangsaan Brazil.\nSetahun kemudian, pada tahun 1958, pemain muda ini membantu pasukan kebangsaannya memenangi Piala Dunia di Sweden. Kemudian sekali lagi pada tahun 1962 Pele melonjakkan pasukannya di Piala Dunia di Chile, serta sekali lagi menyumbang kemenangan pada kejohanan Piala Dunia 1970 di Mexico.\nSecara keseluruhannya, Pele bermain sebanyak 92 kali untuk Brazil dengan jaringan gol keseluruhan sebanyak 77 gol. Sebagai perbandingan, Harry Kane dari England telah menjaringkan sebanyak 53 gol dalam 80 perlawanan. Sebagai tambahan kepada pencapaian pasukan kebangsaannya, iaitu untuk kelabnya Pele memenangi sebanyak enam kejuaraan dalam Liga Brazil dan dua kejuaraan di Amerika Selatan.\nSemasa di Amerika Syarikat\nPada tahun 1975, dia keluar daripada separuh persaraan untuk bermain di New York Cosmos dalam Liga Bola Sepak Amerika Utara. Pada ketika itu, Pele berusia pertengahan 30-an tetapi masih berjaya menjaringkan sebanyak 37 gol dalam 64 perlawanan. Ada yang percaya bahawa semasa tempoh singkatnya bermain di Amerika Syarikat, negara Uncle Sam itu telah memulakan minat negara tersebut dalam sukan bola sepak.\nSelepas persaraannya, Pele terus dihormati, dipuja oleh peminatnya dan kekal berpengaruh dalam dunia sukan bola sepak global. Dia turut terpilih sebagai penerima anugerah FIFA pada abad ke-20, iaitu anugerah yang dikongsi bersama-sama Maradona. Pada tahun 2014, dia telah diberikan Ballon d\u2019Or Prix d\u2019Honneur FIFA yang pertama, malah Nelson Mandela pernah merakamkan penghargaannya terhadap pemain Brazil itu apabila menyampaikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Laureus kepadanya pada tahun 2000.\nSemasa hayatnya, bakat Pele tidak pernah diragui oleh peminat dan pemerhati sukan bola sepak. Namun begitu, secara kebetulan semasa dia terlibat dalam arena bola sepak, muncul sebuah konflik global, ketika dunia memerlukan simbol harapan daripada wira sukan.\nSesuatu yang tidak dapat dielakkan, semasa hidupnya, Pele turut menghadapi masalah termasuklah apabila aktiviti komersialnya kadangkala terperangkap dalam ciptaan kontroversi. Hal ini terjadi apabila pada satu peringkat dia dilabelkan sebagai watak antagonis berhaluan kiri menentang kerajaan Brazil, kemudiannya digambarkan sebagai terlalu konservatif dalam memberikan pandangannya tentang pemerintahan diktator Brazil. Pele juga mempunyai banyak anak dan seorang daripada mereka, iaitu anak lelakinya, Edinho, telah dimasukkan ke penjara kerana terlibat dalam pengubahan wang haram hasil daripada urus niaga dadah.\nWalau bagaimanapun, ingatan peminat bola sepak dunia terhadapnya tetap kekal sebagai pemain bola sepak yang turut dikagumi oleh pemain professional yang lain. Pele bukan sahaja mahir dalam bidangnya, malah turut membawa kegembiraan yang besar kepada ramai orang di seluruh dunia dalam tempoh beberapa dekad termasuklah kepada golongan yang tidak mengikuti perkembangannya secara dekat. Untuk kesekian kalinya, dia juga dianggap sebagai jelmaan Messi, Ronaldo dan Mbapp\u00e9 yang digabungkan menjadi satu- itulah Pele." "Raja Muda Perlis Menitahkan Ucapan Selamat Tahun Baharu 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menitahkan ucapan selamat menyambut tahun baharu 2023 kepada seluruh rakyat Perlis.\nBaginda bertitah sedemikian selepas berangkat mengiringi Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, yang bersantap malam di ibu negara, pada malam semalam.\nMenerusi titah tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin dan isteri berkeyakinan bahawa seluruh warga Perlis akan melipatgandakan usaha dalam memberikan fokus terhebat terhadap segala perancangan untuk tahun 2023.\nPada masa yang sama, baginda mengingatkan rakyat Perlis agar segala iktibar dan pedoman daripada gerak kerja dan pelaksanaan amanah dan tanggungjawab pada sepanjang tahun 2022 diambil sebagai pengajaran demi memastikan segala perancangan yang disusun mempunyai nilai tambah, berkesan dan ditambah baik dengan lebih jitu dan pantas.\nPada kesempatan yang sama, Tuanku Raja Muda Perlis yang baru menyambut hari ulang tahun keputeraan baginda yang ke-55 pada 30 Disember 2022 turut menitahkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang telah mendoakan kesejahteraan buat baginda seisi kerabat dan juga kepada mereka yang telah mempersembahkan ucapan melalui pelbagai medium termasuklah kad, surat, WhatsApp dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang tidak sempat baginda jawab satu per satu.\nYang turut sama berangkat ialah anakanda baginda berdua, Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah, YAM Sharifah Farah Adriana dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail." "KPM Pandang Serius Insiden Jurulatih dan Pemain Bola Tampar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius isu yang dilaporkan oleh pihak media, berkaitan dengan insiden yang melibatkan jurulatih dan pemain bola tampar semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor, pada 14 hingga 16 Disember 2022 yang lalu.\nDalam satu kenyataan, KPM menyatakan bahawa KPM merujuk insiden yang tular di media sosial bertarikh 1 Januari 2023 berkaitan dengan klip video yang melibatkan jurulatih Pasukan Melaka Bawah 14 Tahun (Wanita) yang didapati menampar dua orang pemain wanita pasukan tersebut. Sehubungan dengan itu, satu sesi perjumpaan dengan ibu bapa murid yang terlibat akan dilaksanakan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dengan laporan tersebut.\nKPM juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika ada laporan polis dibuat mengenai insiden tersebut.\n\u201cPada masa yang sama, KPM akan meneruskan siasatan bagi tujuan tatatertib. Jika didapati bersalah, tindakan sewajarnya akan diambil,\u201c jelas KPM.\nKPM sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan murid sentiasa menjadi keutamaan." "Raja Muda Perlis Menyantuni Sukarelawan Dapur Jalanan Kuala Lumpur\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyantuni sukarelawan dan petugas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dapur Jalanan Kuala Lumpur (DJKL) dan juga Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Kuala Lumpur di Jalan Panggong, Kuala Lumpur yang telah membuatkan para sukarelawan berasa teruja dan gembira.\nKeberangkatan tersebut adalah bersempena dengan Kayuhan Berbasikal Santai DiRaja anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk melihat dengan lebih dekat suasana rakyat jelata yang meraikan tahun baharu 2023 di sekitar Kuala Lumpur. Selain berkenan berangkat menyantuni dan beramah mesra bersama-sama para sukarelawan DJKL, baginda turut berkenan mengurniakan kek kepada petugas berkenaan sempena meraikan ulang tahun hari keputeraan baginda ke-55 pada 30 Disember, baru-baru ini.\nPada kesempatan tersebut, Quratulain Atiqah Norzahirul Anuar yang merupakan koordinator dan setiausaha DJKL menyampaikan taklimat tentang fungsi dan peranan DJKL dalam menghimpunkan sukarelawan khususnya dalam kalangan anak muda untuk menjalankan tugas sukarelawan seperti perkongsian makanan dan aktiviti amal yang lain kepada golongan gelandangan dan miskin bandar di kawasan sekitar termasuklah membantu golongan ini untuk mendapat maklumat dan prosedur yang betul tentang bantuan kerajaan yang layak diperoleh.\nBeliau yang juga merupakan peguam dari firma Tetuan Shahrizan & Co. turut menjelaskan bahawa DJKL bukan hanya tertumpu pada aktiviti perkongsian makanan sahaja, malah turut menghantar pasukan sukarelawan ke kawasan yang dilanda bencana.\nAktiviti rutin DJKL diadakan pada setiap hari Ahad dari pukul 4.30 petang hingga 6.30 petang yang melibatkan antara 15 hingga 20 orang sukarelawan yang memberikan fokus untuk membantu antara 120 hingga 150 individu yang tidak berkemampuan.\nSelain Quratulain, wakil PBSM pula, iaitu Dr. Chatichai Chong Jian Wei yang merupakan Ahli Lembaga Pengelola Kebangsaan PBSM turut berkongsi maklumat kepada DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra berkaitan dengan peranan PBSM Kuala Lumpur yang bekerjasama dan membantu DJKL dalam menjalankan aktiviti amal terutama dalam membuat pemeriksaan saringan kesihatan yang asas secara percuma dan memberikan nasihat serta kesedaran tentang aspek kesihatan.\nDr. Chatichai yang juga merupakan Ketua Eksekutif Pemasaran syarikat Arus Oil turut menjelaskan bahawa kumpulan profesional seperti pegawai perubatan, pegawai pergigian, pegawai farmasi dan jururawat turut terlibat sebagai sukarelawan dan turut membekalkan ubat-ubatan asas kepada golongan yang tidak berkemampuan.\nKetika lawatan tersebut, Tuanku Raja Muda berharap agar lebih banyak pihak yang membantu usaha murni pihak DJKL dan PBSM dan tampil ke hadapan untuk menjalankan aktiviti amal sebegini serta masyarakat lebih membuka mata untuk turut serta membantu pihak NGO.\nTurut hadir mengiringi baginda ialah Ketua Pengarah MARA, Datuk Seri Azhar Abdul Manaf dan Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Datuk Zulfikri Osman.\nBagi pihak yang berminat untuk menghulurkan sumbangan dan membantu pihak DJKL bolehlah menghubungi Quratulain di talian 019-2734 090, e-mel [email\u00a0protected] atau boleh terus memberikan sumbangan ke akaun CIMB 8008984696 (Kelab Dapur Jalanan Kuala Lumpur).\nPihak DJKL sedang giat mengumpulkan sumbangan bagi membaiki atau mendapatkan sebuah van yang lebih baik untuk membawa barangan bantuan memandangkan van sedia ada tidak sesuai untuk digunakan lagi.\nMaklumat lanjut tentang DJKL boleh dilihat melalui pautan ini.\nSumber foto: TTG Kuala Lumpur." "Serangan Panik: Bahaya atau Tidak?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSejak belakangan ini, serangan panik menjadi perbualan dan ketakutan banyak orang. Hal ini mungkin disebabkan sebelumnya kita kurang terdedah dengan berita individu yang terkesan dengan serangan panik. Begitu juga dengan punca dan akibat yang berlaku akibat serangan panik terhadap diri sendiri atau orang lain.\nSerangan panik merupakan perasaan takut secara tiba-tiba dan berlaku tindak balas fizikal yang kuat terhadap situasi biasa yang tidak mengancam. Apabila seseorang mengalami serangan panik, individu tersebut akan banyak berpeluh, mengalami kesukaran bernafas dan berasa seperti jantung berdegup dengan kencang \u2013 individu tersebut berasa seolah-olah mengalami serangan jantung!\n\nSerangan atau gangguan panik boleh berkembang apabila seseorang terlalu bimbang tentang serangan panik yang lain atau mengubah tingkah laku untuk mengelakkan serangan panik. Di Amerika Syarikat (AS), pada setiap tahun, dicatatkan sebanyak 11 peratus rakyat di negara itu mengalami serangan panik. Daripada jumlah itu, sebanyak dua hingga tiga peratus didapati mengalami gangguan panik yang berlanjutan.\nPersoalannya, siapakah yang terdedah dan berisiko mendapat serangan panik? Menurut pakar perubatan di AS, sesiapa sahaja boleh mengalami serangan panik. Antara faktor yang memainkan peranan termasuklah umur, iaitu serangan panik biasanya pertama kali berlaku semasa remaja atau awal dewasa. Walau bagaimanapun sesiapa sahaja dari pelbagai peringkat umur, termasuk kanak-kanak, boleh mengalami serangan panik. Sementara itu, didapati bahawa wanita berisiko dua kali ganda daripada lelaki untuk diserang gangguan panik.\n\u00a0\nFAKTOR SERANGAN PANIK\nPakar perubatan masih tidak dapat mengesahkan faktor sebenar yang menyebabkan seseorang mengalami serangan panik atau mengalami gangguan panik. Dalam hal ini, otak dan sistem saraf memainkan peranan yang penting dalam cara seseorang melihat dan mengendalikan ketakutan dan kebimbangan. Walau bagaimanapun, pakar perubatan mengesahkan bahawa risiko serangan panik akan meningkat sekiranya seseorang mempunyai faktor seperti yang berikut;\nKetagihan alkohol mampu mendorong serangan panik.\nSIMPTOM SERANGAN PANIK:\nSerangan panik berlaku secara tiba-tiba dan tanpa amaran. Tiada cara untuk menghentikan serangan panik selepas serangan itu bermula. Gejala serangan panik biasanya memuncak dalam masa 10 minit selepas serangan bermula dan akan beransur-ansur hilang tidak lama kemudian. Tanda-tanda serangan panik adalah seperti yang berikut;\n\u00a0\nBOLEHKAH SERANGAN PANIK DIRAWAT?\nMasalah kesihatan yang serius, seperti penyakit jantung, penyakit tiroid dan masalah pernafasan, membawa gejala yang serupa dengan serangan panik. Maka itu, pakar kesihatan mental dapat mendiagnosis gangguan panik sekiranya seseorang individu berterusan berasa bimbang tentang lebih banyak serangan panik atau akibatnya dan taasub kehilangan kawalan semasa serangan panik.\nPENGURUSAN DAN RAWATAN SERANGAN PANIK\nPsikoterapi, ubat-ubatan atau kedua-duanya sangat berkesan untuk menghentikan serangan panik. Soal berapakah tempoh seseorang itu memerlukan rawatan adalah bergantung pada keseriusan masalah yang dihadapinya dan sejauh mana individu tersebut bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan seperti yang berikut;\nPada hakikatnya, serangan panik masih boleh dirawat. Malangnya, ramai orang menangguhkan untuk mendapatkan bantuan kerana perasaan malu yang membelenggu penghidapnya. Serangan panik yang tidak dirawat atau gangguan panik boleh mengganggu keupayaan seseorang untuk menikmati kehidupan. Bagi mereka yang mengalami serangan panik, berikut tiga situasi yang perlu diketahui;\nMaka itu, ikuti nasihat pakar perubatan untuk mengurus keadaan yang boleh mencetuskan serangan panik. Individu yang terlibat juga boleh mengambil tindakan ini untuk mengurangkan kemungkinan diserang panik;" "YB Fadhlina Buat Tinjauan Hari Pertama Pembukaan Sekolah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Sempena pembukaan hari pertama persekolahan bagi penggal 3 sesi 2021/2022, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengadakan lawatan kerja ke sekolah sebagai satu daripada langkah proaktif bagi memantau kebajikan dan keperluan warga sekolah, seterusnya dapat meningkatkan kemudahan infrastruktur institusi pendidikan di seluruh negara.\nMenurut Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, lawatan ini turut diadakan agar perbincangan dua hala antara KPM dengan pihak sekolah dapat dilaksanakan untuk kepentingan bersama, khususnya dalam isu bebanan guru dan kekurangan kelas prasekolah dan tadika kerajaan.\nSusulan daripada itu, YB Fadhlina Sidek menegaskan bahawa KPM akan berusaha untuk mengaktifkan kembali peranan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan dalam mengkaji perkara yang berbangkit, khususnya berkaitan dengan isu bebanan guru.\nPada masa yang sama, beliau berkata,\nKita sedang melihat keutamaan untuk menambah kelas prasekolah ini dan hal ini sudah dibincangkan dengan Kementerian Setiausaha (KSU) dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) bahawa ada keperluan ketika ini untuk melihat dan menambah. Selain itu, dasar yang berkait rapat dengan prasekolah ini juga perlu dipercepat.\nKPM juga sedang meneliti keperluan dan kewajaran untuk menambah kelas prasekolah dan tadika kerajaan di bandar.\nMengulas mengenai penularan varian baharu COVID-19 dari China baru-baru ini, beliau mengatakan bahawa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah adalah berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).\nSetakat hari ini, KKM belum mengeluarkan pekeliling kepada KPM.\u201d \u201cKPM akan akur dengan nasihat KKM yang akan dikeluarkan dari semasa ke semasa demi keselamatan murid.\nDemikian penjelasan yang diberikan oleh YB Fadhlina Sidek ketika sidang media pada pagi tadi selepas lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Kebun dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, Seksyen 32, Shah Alam.\nTurut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ketua Setiausaha KPM, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato\u2019 Haji Pkharrudin Haji Ghazali." "Padah Akibat Kemaruk Putih\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSudah menjadi suatu fitrah bagi setiap manusia mendambakan wajah yang cantik terutamanya bagi golongan wanita. Istilah cantik itu luas dan membawa banyak maksud dan bukan hanya diukur berdasarkan fizikal seseorang itu semata-mata, tetapi keupayaan atau rasa percaya pada diri untuk berhadapan dengan orang ramai. Keyakinan dalam diri merupakan elemen yang sangat penting kerana secara tidak langsung menampakkan seseorang itu kelihatan lebih cantik dan mempunyai aura yang tersendiri. Menurut Wirasari (2016), latar belakang sosiobudaya bagi sesuatu masyarakat mempengaruhi trend dalam aspek kecantikan. Majoriti masyarakat kini menganggap bahawa berkulit putih itu adalah cantik. Ada yang sanggup merosakkan diri demi mendapatkan kulit yang putih dengan cara yang tidak selamat.\nDalam era globalisasi ini, pelbagai produk untuk memutihkan kulit kian bertambah bagai cendawan tumbuh selepas hujan di pasaran. Keghairahan kaum wanita untuk memiliki kulit yang putih dalam tempoh yang singkat semakin meningkat. Hal ini membuka peluang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk menghasilkan pelbagai produk yang didakwa untuk memutihkan kulit. Sesetengah penjual tidak mengambil kira keselamatan produk yang mengandungi bahan yang boleh memberikan kesan yang buruk kepada pengguna. Mereka hanya memikirkan keuntungan yang bakal diperoleh dan hanya memikirkan kaedah untuk menarik ramai lagi pengguna yang taasub untuk memutihkan kulit supaya mendapatkan produk keluaran mereka.\nSebagai contoh, bahan-bahan yang boleh memudaratkan kulit ialah merkuri. Merkuri atau raksa merupakan satu daripada jenis logam yang dijumpai secara semula jadi dalam alam sekitar. Merkuri mula menjadi bahan terkenal yang digunakan dalam industri kosmetik dan kecantikan. Merkuri yang terdapat dalam produk pemutih kulit dapat menghalang pembentukan melanin dan mampu menjadikan kulit kelihatan lebih cerah dalam jangka masa yang singkat. Namun begitu, merkuri boleh memberikan kesan yang buruk terhadap organ dalam badan. Menurut Darmono (2001), merkuri mengakibatkan fungsi hati dan ginjal terjejas serta sistem enzim dan mekanisme sintetik terganggu. Terdapat sesetengah pengguna yang tidak mengambil endah mengenai kesan merkuri terhadap diri selagi mereka tidak merasai sendiri kesannya kerana merkuri mengambil tempoh yang panjang sebelum pengguna menyedari kesannya.\nSuplemen seperti pemutih kulit merupakan antara\u00a0 agen pencerah untuk memutihkan kulit secara cepat. Seperti yang dapat dilihat, terdapat banyak iklan yang memaparkan pelbagai jenis makanan tambahan seperti kolagen dalam bentuk pil dan minuman pemutih kulit sehingga dapat mempengaruhi pemikiran masyarakat kerana bukan sahaja produk tersebut digembar-gemburkan dapat mencantikkan dan memutihkan kulit, malah makanan tambahan seperti kolagen atau pil pemutih itu sendiri didakwa mempunyai khasiat yang baik untuk menganjalkan tekstur kulit.\u00a0 Produk seperti ini acap kali dipromosikan secara meluas terutamanya melalui media sosial yang didapati sebagai medium yang paling mudah untuk mempengaruhi masyarakat dengan iklan-iklan yang menarik. Dengan adanya promosi yang menarik, kebanyakan pengguna terjebak dan membeli produk pemutih tersebut tanpa memeriksa terlebih dahulu kandungan yang terdapat dalam produk tersebut.\nMasyarakat telah dimomokkan dengan kelebihan kolagen tanpa mereka sedar bahawa kolagen dan makanan tambahan sebenarnya merupakan pembunuh senyap. Ayat-ayat yang sering digunakan oleh penjual produk pemutih seperti \u201cSekiranya anda mahu cantik, putih dan gebu seperti artis terkenal, ambillah pil ini. Pil ini dapat memutihkan kulit sepantas tiga hari sahaja dan kulit anda akan kekal putih dan gebu\u201d. Mereka yang terpancing dengan ayat jurujual atau slogan ini akan membeli dan sanggup melabur untuk kecantikan diri. Golongan ini juga sanggup mengambil jalan pintas dan mudah tanpa memikirkan kesan pada jangka masa panjang. Menurut Dr. Darren Lee yang merupakan Pakar Nefrologi, Hospital Pantai Pulau Pinang berkata, produk pemutih dan kolagen yang diambil secara berlebihan dapat memberikan kesan sampingan terhadap fungsi hati dan buah pinggang.\nAntara kesan sampingan lain yang boleh berlaku disebabkan oleh produk kolagen dan pemutih kulit termasuklah simptom seperti alergi. Alergi berlaku kepada segelintir individu yang berkulit sensitif dan tidak berlaku kepada semua orang. Keradangan pada permukaan kulit atau kemunculan bintik merah merupakan reaksi alergi yang berlaku disebabkan oleh pengambilan produk pemutih. Pengguna harus peka terhadap perubahan yang dialami dan segera berhenti daripada terus menggunakannya. Pengguna disarankan untuk berjumpa dengan doktor yang berkaitan untuk mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut dan membawa produk tersebut untuk memeriksa kandungan bahan yang terkandung di dalamnya.\nSelain itu, suntikan vitamin C juga sangat popular sebagai satu daripada agen pencerah yang dapat memutihkan kulit dalam waktu yang singkat. Penjualan produk suntikan ini semakin banyak dipromosikan terutamanya dalam media sosial. Suntikan vitamin C kian berleluasa dan menjadi trend pada masa ini. Memang tidak dapat dinafikan bahawa setiap orang pasti akan \u201ctergugat\u201c melihat hasil dan testimoni daripada suntikan yang dapat memutihkan kuit dalam waktu yang singkat. Pengiklanan terhadap keberhasilan suntikan ini mendorong lebih ramai pelanggan ingin mencuba produk tersebut. Tambah membimbangkan, terdapat segelintir individu yang mengambil peluang dengan menjadikan suntikan vitamin C sebagai satu perniagaan dan antara mereka ada yang menjalankan prosedur suntikan ini hanya di rumah sahaja. Malangnya, masih ada yang mempercayainya bahkan menjadi pelanggan tetap dengan mengambil suntikan tersebut. Dari segi kebersihan, sudah pasti peralatan yang digunakan tidak disanitasi dengan sempurna terlebih dahulu dan pastinya tidak mendapat kelulusan daripada pihak Kementerian Kesihatan.\nPlatform Tik Tok merupakan antara platform yang semakin popular kini dan mudah untuk mendapatkan pelanggan. Gelaran \u201cDoktor TikTok\u201d digunakan bagi menarik lagi minat orang ramai untuk mencuba suntikan ini dengan menggunakan slogan atau kata-kata yang dapat memancing pelanggan untuk mencuba produk suntikan tersebut. Ada sesetengah penjual menawarkan perkhidmatan ke rumah pelanggan bagi memudahkan pelanggan untuk tidak keluar rumah dan boleh mendapatkan suntikan hanya di rumah sahaja. Mereka hanya menerangkan kelebihan dan kebaikan suntikan vitamin C dengan menyatakan bahawa suntikan ini selamat dan cuba menutup keburukan yang akan ditanggung oleh pengguna pada masa akan datang.\nWalaupun telah banyak kempen kesedaran dijalankan oleh media mengenai kesan sampingan suntikan pemutih kulit atau vitamin C ini, tetapi masih ramai lagi yang terpengaruh untuk mencuba produk tersebut demi mendapatkan kulit idaman. Bagi mereka, kulit yang putih dan gebu merupakan cerminan kecantikan sebenar, walhal kualiti kulit diukur melalui tahap kesihatannya, bukannya dari segi warnanya. Tedapat juga gologan selebriti yang mengambil suntikan vitamin C untuk mendapatkan kulit yang putih dan gebu supaya mereka tampil cantik dan berkeyakinan di khalayak. Mereka seolah-olah tidak takut dengan pengalaman orang sekeliling sehinggalah mereka merasai pengalaman buruk akibat sikap mereka itu sendiri.\nDalam sebuah wawancara akhbar Harian Metro (17 April 2022) bersama-sama seorang bekas pesakit yang dikenali sebagai Ladyvin, beliau merupakan salah seorang pesakit kanser yang disebabkan oleh suntikan cecair pemutih kulit. Beliau pernah menjalankan lebih daripada 50 kali suntikan termasuklah di negara jiran. Demi kelihatan putih dan cantik, beliau sanggup menghabiskan sebanyak RM500 hingga RM1000 sebulan untuk membuat rawatan suntikan pemutih selama dua tahun. Kemudian beliau telah menjalani kemotrapi selama dua tahun setelah disahkan menghidap penyakit barah. Beliau kini telah bebas daripada barah dan menasihati orang ramai terutamanya kaum wanita supaya tidak terjebak dalam mana-mana promosi drip pemutih kulit walaupun dapat memberikan kesan putih dengan cepat, namun memberikan kesan buruk dalam jangka masa yang panjang . Seperti slogan yang sering kali kita dengar, \u201cLebih baik mencegah daripada mengubati\u201d.\nSeterusnya, sesetengah produk kosmetik turut menjadi salah satu agen pencerah yang dapat memutihkan kulit kerana mempunyai bahan kimia, iaitu logam berat yang merbahaya dan dapat merosakkan kulit. Antara contoh logam berat yang terdapat dalam produk kosmetik adalah Kadmium (Cd), Plumbum (Pb), Merkuri (Hg) dan Arsenik (As). Menurut Duruibe (2007), sesetengah kandungan bahan kimia telah terbukti berbahaya jika dicampurkan ke dalam produk kosmetik. Akan tetapi, masih terdapat pengeluar kosmetik yang tetap mengeluarkan produk yang mengandungi logam berat ini. Oleh itu, pengguna haruslah mempunyai kesedaran diri mengenai kandungan merbahaya dalam produk kosmetik sebelum menggunakannya. Hal ini untuk menghindari diri daripada pelbagai masalah kesihatan yang tidak diingini disebabkan oleh penggunaan produk kosmetik.\nMeneydari pelbagai kisah yang dikongsi oleh pengguna yang begitu obses dengan kecantikan yang bersifat sementara sebelum ini, maka jelaslah bahawa produk pemutih kulit yang mempunyai bahan yang merbahaya dapat memudaratkan kesihatan kita untuk tempoh jangka masa yang panjang. Sebagai pengguna yang bijak, kita mestilah membuat penelitian terlebih dahulu terhadap apa-apa produk yang ingin diambil supaya terhindar daripada pelbagai jenis penyakit yang tidak diundang. Kesihatan diri amatlah penting kerana nikmat kesihatan tidak dapat dijual beli dengan wang ringgit. Oleh hal yang demikian, hargai dan lindungilah diri daripada melakukan perkara yang dapat memudaratkan kesihatan kita. Setiap tindakan mestilah mengambil kira kebaikan atau keburukan yang akan berlaku supaya kita lebih berhati-hati untuk membuat keputusan pada masa akan datang. Memperoleh kulit yang putih dalam jangka masa yang pendek hanyalah nikmat sementara kerana akibat yang akan ditanggung pada kemudian hari akan lebih menyiksakan." "\u201cHaruan Makan Anak\u201d: Di Manakah Silapnya?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nFenomena \u201charuan makan anak\u201d atau sumbang mahram dilihat sebagai gambaran kepincangan institusi kekeluargaan pada masa ini. Sumbang mahram merujuk kepada perlakuan zina yang berlaku antara dua orang anggota terdekat dalam sesebuah keluarga, misalnya antara abang dengan adik perempuan atau ayah dengan anak perempuannya. Perbuatan sumbang mahram antara orang dewasa dengan anak mereka kebiasaannya dianggap sebagai satu bentuk penderaan seksual dan boleh membawa kepada perkembangan \u201cdisfungsi\u201d seksual (kepuasan seks yang tidak dapat dicapai), kemurungan, kecelaruan keresahan, penyalahgunaan bahan, kecelaruan personaliti pinggiran dan gangguan tekanan pascatrauma dalam kehidupan. Isu yang telah lama meniti di bibir masyarakat ini ibarat satu penyakit yang semakin merebak dalam kalangan masyarakat setempat. Sehubungan dengan itu, terdapat beberapa punca yang menyebabkan berlakunya fenomena ini.\nTahap iman yang lemah sememangnya menjadi penyumbang utama kepada perbuatan sumbang mahram dalam kalangan masyarakat. Meskipun menyedari bahawa perbuatan sumbang mahram itu berdosa besar, namun kelemahan iman seseorang itulah yang menyebabkan timbulnya hawa nafsu yang mengatasi kewarasannya. Ketagihan menonton video lucah yang boleh didapati di hujung jari dipercayai menjadi antara punca lemahnya iman seseorang itu. Adegan seks yang terkandung dalam video lucah yang ditonton merangsang individu tersebut melakukan sumbang mahram untuk memenuhi desakan naluri seksualnya. Apabila nafsu syahwat tidak lagi dapat dikawal, maka si bapa sebagai pelaku tidak lagi melihat anak daripada kaca mata seorang bapa, malah lebih melihatnya sebagai objek pemuas nafsu. Pada hakikatnya, anak perempuan sebagai mangsa yang tinggal serumah dengan pelaku, iaitu bapa kandungnya sendiri memudahkan perbuatan ini terus diulangi.\nJenayah sumbang mahram dalam kalangan masyarakat juga disebabkan oleh batas aurat dan pergaulan dalam keluarga yang tidak dijaga. Sebagaimana yang ditetapkan dalam agama, ulama mazhab Syafie menyatakan bahawa aurat wanita di hadapan mahramnya adalah antara pusat dan lutut sama ada mahramnya yang lelaki atau perempuan dan begitu jugalah sebaliknya. Namun begitu, kegagalan ibu bapa dalam menitikberatkan didikan ini dalam diri anak-anak khususnya perempuan, menyebabkan mereka terbiasa dan tidak berasa janggal untuk mengenakan pakaian yang mendedahkan sehingga boleh menaikkan syahwat di hadapan mahramnya. Pada masa yang sama, hubungan yang terlalu rapat antara anak perempuan dengan bapanya menyebabkan anak itu beranggapan bahawa perlakuan bapanya yang suka memberikan ciuman mesra di bahagian yang tidak wajar (selain dahi) merupakan perkara biasa yang pada akhirnya mendorong kepada perlakuan sumbang mahram.\nMangsa yang gagal melaporkan kes sumbang mahram turut menyebabkan gejala ini semakin menjadi-jadi. Hal ini dikatakan demikian kerana, anak yang sedaya upaya mendedahkan perbuatan jijik si ayah terhadapnya \u201claksana layang-layang melawan angin\u201d apabila ibunya hanya membisu tanpa menzahirkan kebimbangan. Sikap ahli keluarga yang memandang enteng tentang isu ini menyebabkan seseorang anak itu tidak berani untuk melaporkan perbuatan sumbang mahram tersebut kepada pihak berkuasa dengan anggapan bahawa tindakan tersebut juga mungkin tidak akan mendapat sokongan dan pembelaan. Di samping itu, kepatuhan mangsa terhadap desakan seksual bapanya kadang kala menjadi cara untuk kelangsungan hidup dan melindungi diri sendiri daripada kemungkinan terus menjadi mangsa penderaan atau mendapat kecederaan yang lebih teruk. Keadaan sebegini menyebabkan perbuatan sumbang mahram itu terus berlanjutan sehingga bertahun-tahun lamanya.\nPerbuatan sumbang mahram yang berleluasa dalam kalangan masyarakat juga dipengaruhi oleh faktor sosioekonomi. Meskipun sumbang mahram boleh berlaku dalam semua lapisan masyarakat, namun secara khususnya kemiskinan merupakan suatu situasi yang berpotensi untuk mendorong berlakunya sumbang mahram. Mereka terpaksa tinggal sebumbung di dalam rumah yang kecil dengan bilangan ahli keluarga yang banyak. Keadaan rumah yang sempit dan ketiadaan ruang bilik yang mencukupi tidak memungkinkan tempat tidur antara ibu bapa dengan anak, dan tempat tidur antara anak lelaki dengan anak perempuan itu dipisahkan. Anak-anak yang terdedah dengan kegiatan seksual ibu bapa yang mungkin dilakukan di hadapan mereka sejak kecil, menimbulkan rasa ingin tahu lantas mendorong mereka untuk meniru perbuatan tersebut sehingga\u00a0 terjadinya perbuatan sumbang mahram. Tambahan pula, kedudukan rumah yang terpencil dengan jarak rumah yang jauh dari kawasan kejiranan menyebabkan kegiatan sumbang mahram yang terjadi sukar dikesan.\nKegagalan isteri memenuhi kehendak suami juga dipercayai mendorong kepada fenomena sumbang mahram ini. Kebiasaannya, waktu kerja yang berbeza bagi suami dan isteri menyebabkan mereka kurang mempunyai waktu berkualiti untuk bersama. Apabila\u00a0 isteri keluar bekerja pada siang hari, suami pula berangkat kerja pada waktu malam dan begitulah sebaliknya. Keinginan batin yang jarang-jarang sekali dapat dipenuhi menyebabkan suami tersebut melampiaskan nafsunya kepada anak yang berada di rumah. Banyak laporan media menyatakan bahawa akibat takut dipersalahkan kerana tidak mampu menjadi isteri yang baik, si ibu lebih rela membiarkan suami dan anaknya terus berhubungan. Si ibu juga takut sekiranya suaminya itu mencari kepuasan seksual di luar apabila merasakan dirinya tidak lagi menarik perhatian. Terdapat juga satu kes yang memperlihatkan \u201ckependekan\u201c akal seorang ibu yang tergamak mengorbankan darah dagingnya dengan membantu suami mengikat tangan dan melondehkan seluar anaknya, hanya kerana takut dijatuhkan talak.\nFaktor lain yang turut menyumbang kepada gejala sumbang mahram dalam kalangan masyarakat termasuklah isteri yang terlalu bergantung kepada suami. Hal ini sering menjadi tanda tanya, iaitu di manakah hilangnya sifat perikemanusiaan segelintir ibu yang sanggup mengunci mulut meskipun mengetahui bahawa anaknya sudah sekian lama menjadi korban nafsu serakah suaminya sendiri? Salah satu alasan yang menyebabkan keadaan ini terus berlaku ialah seorang isteri itu tidak memiliki sebarang pekerjaan yang membolehkannya untuk memperoleh sumber pendapatan. Oleh sebab itu, \u00a0si isteri mengambil keputusan untuk tidak melaporkan perbuatan sumbang mahram yang berlaku dalam keluarganya kerana tidak mahu suaminya dipenjarakan sehingga menyebabkan mereka sekeluarga terus hidup melarat. Sikap suami yang panas baran dan sering kali bertindak ganas juga menyebabkan si ibu tidak berani untuk membela nasib anak kandungnya yang menjadi mangsa keadaan.\nMenyedari hakikat di atas, maka jelaslah bahawa gejala sumbang mahram bukanlah satu fenomena baharu, malah telah menjadi \u201cduri dalam daging\u201d dalam masyarakat sejak sekian lama. Banyak faktor yang sebenarnya mendorong kepada berlakunya masalah sumbang mahram yang masih membelenggu masyarakat tanpa mengira bangsa, budaya dan agama. Sekiranya ibu bapa atau keluarga terdekat tidak lagi mampu menunaikan tanggungjawab sebagai pelindung, maka peranan pelbagai pihak lain termasuklah jiran tetangga, kaunselor, Kementerian Pendidikan dan pihak berwajib amat diperlukan bagi membendung situasi ini daripada terus berleluasa. Sehubungan dengan itu, istilah \u201cmenjaga tepi kain\u201d tidak boleh lagi diguna pakai dalam hal ini. Sebaliknya, masyarakat sekeliling haruslah menjadi \u201cmata\u201d dan \u201ctelinga\u201d dalam memberi maklumat berkenaan kejadian sumbang mahram demi membantu anak-anak yang menjadi mangsa kerakusan nafsu manusia yang sepatutnya menjadi pelindung buat mereka demi mendapatkan keadilan dan masa depan yang lebih baik." "Memperbanyak Penerbitan Bahan Bahasa dan Sastera secara Elektronik dan Digital\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Saranan Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu dilihat mampu mengembalikan kedudukan dan martabat bahasa tersebut sebagai bahasa kebangsaan. Perihal mengantarabangsakan bahasa Melayu telah pun bermula sejak dahulu yang menyaksikan banyak jurusan Pengajian Bahasa Melayu dibuka di universiti dan kolej luar negara. Bagi mengupas lanjut berkaitan dengan isu ini, BERNAMA Radio telah menjemput Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti kebangsaan Malaysia (UKM), yang juga merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dalam slot Dalam Radar, kelolaan penyampainya, Shuhadah Armawan.\nMenurut\u00a0 Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, dasar meningkatkan hubungan antarabangsa melalui kebudayaan telah digiatkan oleh kerajaan apabila Menteri Luar Negeri pada 7 Disember 2021 telah mengumumkan untuk mengadakan Program Diplomasi Kebudayaan yang merangkumi perkembangan bahasa, sastera dan budaya Melayu pada peringkat antarabangsa melalui kedutaan Malaysia di luar negara.\nPihak DBP sebenarnya telah meningkatkan usaha untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu sejak tahun 1980-an lagi dengan menghantar tenaga pengajar di beberapa buah negara asing termasuklah di China, selain mengadakan pelbagai program dan promosi bahasa serta sastera di luar negara termasuklah di Eropah, Asia Timur dan sebagainya.\nTambah beliau, pengumuman YAB Perdana Menteri untuk mengembangkan penggunaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa oleh para pemimpin dan penjawat awam di negara ini merupakan antara langkah terbaik dalam usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu.\nWalau bagaimanapun, sudah tentu terdapat pelbagai cabaran dalam usaha dan hala tuju pemantapan bahasa Melayu pada abad ke-21 ini. Beliau berpendapat, cabaran yang terbesar ialah penjajahan budaya melalui media kerana dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan ini menyebabkan pelbagai kebudayaan luar mudah meresap dalam masyarakat walaupun sebenarnya tidak secocok dengan tradisi masyarakat negara ini. Atas dasar itu jugalah, DBP telah pun menerbitkan 70 peratus bahan bahasa dan sastera dalam pelbagai bidang ilmu melalui buku, kamus, majalah dan sebagainya secara elektronik dan digital.\nTambahnya, usaha ini dilaksanakan agar ilmu bahasa Melayu dalam pelbagai bidang dapat disebar luas kepada masyarakat dunia secara lebih berkesan. Contohnya, JendelaDBP mampu menyiarkan sesuatu makalah dengan cepat dan mutakhir supaya masyarakat dunia boleh mengikuti segala perkembangan yang berlaku di negara ini.\nCabaran kedua ialah sistem pendidikan. Sistem pendidikan negara ini perlu mencontohi negara Jepun, Korea Selatan, Jerman dan Perancis yang mempunyai perisai dan nilai-nilai kenegaraan negara.\nBanyak produk yang mesti dihasilkan bagi menampung ilmu dalam bahasa Melayu yang tersimpan dalam manuskrip Melayu lama dengan menggunakan media elektronik. Kerajaan sewajarnya memberikan dana yang cukup bagi melantik pakar yang dapat mengkaji manuskrip-manuskrip tersebut dan seterusnya disampaikan dalam bahasa moden serta dipadukan dengan ilmu semasa.\nSelain itu, penyampaian pelbagai ilmu dalam bahasa Melayu perlu dimanfaatkan dengan pelbagai aplikasi. Di China contohnya, penduduk di kawasan pedalaman mampu berinteraksi dan memahami bahasa asing dengan menggunakan kamus bersuara.\nPengantarabangsaan bahasa Melayu sudah tentu mempunyai cabarannya yang tersendiri. Menurut beliau, Malaysia perlu mempunyai jurubahasa yang cekap agar tidak berlakunya salah faham semasa berkomunikasi yang boleh menjejaskan hubungan diplomatik negara. Para pemimpin dan ahli masyarakat juga sewajarnya menyahut saranan dan hasrat YAB Perdana Menteri yang mahu melihat penggunaan bahasa Melayu berkembang di peringkat antarabangsa.\nProf. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan juga sempat berkongsi dengan para pendengar BERNAMA Radio berkaitan dengan penganjuran Kongres Antarabangsa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu. Kongres yang bertemakan \u201cMemperkasakan Bahasa dan Tamadun Alam Melayu\u201d bakal berlangsung selama dua hari, iaitu pada 28 September dan 29 September 2022 di Bilik Senat dan Bilik Majlis, Bangunan Canselori, UKM, yang merupakan lanjutan daripada penganjuran Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu pada bulan Mei yang lalu." "YTSP Menyemarakkan Program Titian Kasih\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Program motivasi Titian Kasih diadakan kembali di sekolah menengah seluruh negeri Perlis dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dan Jabatan Pendidikan Negeri pada tahun 2023.\nBerikutan penularan wabak pandemik COVID-19, program yang telah dilaksanakan hampir sedekad lebih yang lalu terpaksa ditangguhkan. Namun begitu, pada tahun 2022 yang lalu, program itu dilaksanakan kembali secara digital.\nRaja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah,\nProgram Titian Kasih bukan sahaja sekadar memberi ilmu pelajaran, malah memberikan pengalaman kepada pelajar di Perlis dalam menimba ilmu kehidupan.\n\u201cBagi membentuk modal insan kelas pertama, pelajar perlu menguasai pengetahuan am yang merangkumi ilmu tentang negeri sendiri, isu semasa, budaya dan kearifan tempatan, mengetahui bahasa asing dan juga menerapkan sikap suka membaca,\u201d titahnya lagi.\nMenurut beliau, perkara ini perlu diberikan penekanan dan dididik kepada segenap masyarakat. Bahkan, ilmu pengetahuan yang dikongsi oleh panel yang berpengalaman perlu disemai dalam pemikiran pelajar.\nHasrat itu dinyatakan oleh DYTM Tuanku Raja Muda Perlis selepas berkenan berangkat menyaksikan simbolik penyerahan sumbangan keperluan barangan COVID-19 daripada MyUS Venture Partners Sdn. Bhd. melalui YTSP untuk kegunaan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis di ibu negara.\nAntara peralatan kendiri yang disumbangkan termasuklah pelitup muka, kelengkapan perlindungan diri (PPE)-CE ISO dan pensanitasi tangan, yakni kesemuanya berjumlah 200 unit untuk setiap satu.\nKetua Pegawai Eksekutif, Dato\u2019 Nellsen Young mewakili MyUS Venture Partners Sdn. Bhd. menyerahkan set PPE sebagai simbolik kepada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato\u2019 Seri Dr. Noor Hisham Abdullah.\nTurut berangkat dalam program tersebut ialah anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.\nUntuk rekod, Program Titian Kasih ini merangkumi pelbagai aspek contoh seperti bersukan dalam kehidupan, pengurusan bencana alam, bahaya najis dadah, pencegahan jenayah, menjaga kesihatan, merapikan sahsiah yang cemerlang, menguruskan sisa pepejal dan menetapkan masa depan dalam membuat hala tuju selepas tamat persekolahan nanti.\nKesemua topik ini wajar diberi perhatian sepenuhnya dalam melatih dan menyemai diri seseorang pelajar agar menjadi rakyat bermentaliti kelas pertama dalam segala tindakan mereka." "Memupuk Nilai Eulogi dalam Institusi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd. Fauzi pada hari ini menzahirkan penghargaan kepada warga Pejabat Rektor melalui Majlis Apresiasi Pejabat Rektor, UiTM Cawangan Perlis.\nMajlis anjuran Unit Komunikasi Korporat, UiTM Cawangan Perlis ini diadakan di Dataran Tuanku Canselor bagi meraikan sebanyak 29 orang staf dan pelajar latihan praktikal di Pejabat Rektor.\nMajlis yang berkonsepkan taman ini dimeriahkan dengan kehadiran ketua unit, staf dan pelajar latihan praktikal di bawah Pejabat Rektor.\nDalam ucapannya pada pagi tadi, Rektor UiTM Cawangan Perlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga UiTM Cawangan Perlis atas segala sumbangan dan komitmen yang dicurahkan sepanjang tahun 2022.\nIkhtisar beliau,\nKomitmen daripada setiap staf amat penting bagi memastikan institut ini terus berkembang maju dan setanding dengan institusi lain di negeri ini.\nBeliau juga berharap budaya penghargaan ini akan diikuti oleh bahagian dan unit yang lain di UiTM Cawangan Perlis. Hal ini dikatakan demikian kerana untuk memastikan staf terus bermotivasi dalam menjalankan tugasan masing-masing.\nBeliau turut mengambil kesempatan untuk menyampaikan sijil penghargaan, seperti Rector\u2019s Choice Award, Most Determined Employee, Best Team Player, The Iron Pillar Award, Best Attandance Award dan lain-lain." "Seni Mempertahankan Diri untuk Wanita: Penting atau Tidak?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIsu yang berkaitan dengan kes rogol, ragut, gangguan seksual dan pembunuhan dilihat memberikan impak yang mendalam kepada semua masyarakat terutamanya dalam kalangan wanita. Disebabkan sering kali terdengar berita yang berkaitan dengan isu jenayah di negara ini, perasaan takut pasti akan timbul dalam kalangan wanita untuk melangkah keluar dari rumah. Menyedari situasi tersebut, usaha untuk mempelajari seni mempertahankan diri amatlah digalakkan untuk semua lapisan masyarakat khususnya bagi golongan wanita.\nSeni mempertahankan diri merupakan satu kaedah yang wujud bagi seseorang itu untuk mempertahankan diri daripada serangan musuh dan merupakan kaedah berlawan secara tradisi dengan atau tanpa menggunakan senjata. Apabila berbicara tentang seni mempertahankan diri, pasti akan terlintas dalam fikiran masyarakat mengenai silat, Tekwando dan silambam sahaja. Namun begitu, sebenarnya terdapat banyak seni mempertahankan diri yang lain seperti Muay Thai, Karate, Wushu, Aikido dan lain-lain. Walaupun terdapat banyak jenis seni mempertahankan diri, namun tetap mempunyai matlamat yang sama, iaitu menjadi medium untuk setiap individu dalam melindungi diri daripada sebarang ancaman.\n\nPada kebiasaannya, golongan lelaki merupakan golongan yang banyak melibatkan diri dalam mempelajari seni mempertahankan diri dan hanya segelintir wanita sahaja yang terlibat. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat beberapa faktor tertentu yang mempengaruhi corak penglibatan ini seperti kekangan waktu, selain tiada keizinan daripada ibu bapa khususnya bagi golongan remaja wanita. Namun kini, pendedahan terhadap kepentingan untuk mempelajari seni mempertahankan diri dalam kalangan wanita semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat. Oleh sebab itu, terdapat beberapa kepentingan atau faedah yang diperoleh khususnya bagi golongan wanita sekiranya mereka mempelajari seni mempertahankan diri.\nKepentingan untuk mempelajari seni mempertahankan diri bagi wanita ialah pertamanya, dapat melindungi keselamatan diri daripada mara bahaya. Melalui pembelajaran seni mempertahankan diri, golongan wanita dapat memelihara diri daripada sebarang bentuk ancaman jenayah kerana sejak kebelakangan ini, kes jenayah seperti amang seksual, ragut dan penculikan didapati semakin berleluasa. Keadaan ini menyebabkan wujudnya perasaan bimbang dalam kalangan masyarakat kerana ancaman jenayah ini boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.\nMaka, dengan mempelajari seni mempertahankan diri, masyarakat khususnya golongan wanita dapat mengetahui langkah yang perlu diambil sekiranya terlibat dengan sebarang ancaman jenayah kerana menerusi latihan daripada pelajaran seni bela diri, mentaliti individu terbabit akan bersiap sedia dalam membuat keputusan yang terbaik dan bertindak dengan lebih efisien dalam menghadapi situasi tersebut. Bak kata peribahasa Melayu, \u201csediakan payung sebelum hujan\u201d. Oleh itu, dengan bekalan ilmu seni mempertahankan diri, golongan wanita mampu meningkatkan keselamatan diri dan orang sekeliling daripada sebarang bentuk ancaman jenayah.\nSelain itu, penglibatan dalam seni mempertahankan diri juga dapat meningkatkan aspek kecergasan fizikal. Mempelajari seni mempertahankan diri turut mampu menjadi medium untuk masyarakat khususnya golongan wanita sebagai kegiatan sukan. Pelbagai latihan dan program intensif dalam kelas seni mempertahankan diri dapat membantu meningkatkan perkembangan kadar kardiovaskular dalam badan, memperkuat otot dan menyihatkan tubuh badan individu tersebut. Gerakan yang dilakukan sepanjang mempelajari seni bela diri juga boleh dianggap sebagai suatu senaman yang dapat membantu memperkuat otot-otot anggota badan. Gerakan tersebut juga membantu badan menjadi cergas dan secara tidak langsung menjadikan otak cerdas bak kata peribahasa Melayu \u201cbadan sihat otak cerdas\u201d. Tubuh badan yang sihat mampu mengurangkan risiko daripada penyakit kronik seperti sakit jantung dan darah tinggi. Latihan dan senaman berkala juga akan meningkatkan kadar denyutan nadi dan dapat mengawal kadar tekanan darah tinggi.\nDi samping itu, keterlibatan dalam seni mempertahankan diri turut mendisiplinkan diri mereka. Takrifan disiplin dalam konteks seni mempertahankan diri membawa maksud melakukan apa-apa yang perlu dilakukan walaupun tiada kemahuan dalam melakukannya. Hal ini dapat membantu individu terbabit untuk lebih berdisiplin, mengawal diri dan meningkatkan tahap konsentrasi. Banyak aliran seni mempertahankan diri mengajar teknik-teknik khusus di bawah kelolaan pelatih profesional yang menekankan penguasaan teknik-teknik dan seni pergerakan.\nSeni mempertahankan diri turut menekankan kawalan emosi sebelum melakukan sebarang tindakan. Nilai ini amat penting untuk dikuasai oleh setiap individu terutamanya golongan wanita kerana setiap keputusan yang melibatkan tindakan emosi yang kurang stabil perlu dielakkan kerana setiap individu perlu bersikap rasional dan realistik demi menghasilkan keputusan yang tepat dalam kehidupan.\nPada masa yang sama, seni mempertahankan diri berpotensi untuk menjadi sebuah karier dalam kehidupan kerana terdapat sebilangan seni bela diri yang diiktiraf dalam bidang sukan. Hal ini terbukti menerusi seni mempertahankan diri seperti silat, Karate dan Tekwando yang dipertandingkan sebagai sukan pada peringkat antarabangsa. Antara atlet seni bela diri yang boleh dijadikan sebagai idola termasuklah Siti Shazwana Ajak yang merupakan atlet silat perempuan negara. Oleh itu, jika bakat yang ada diasah dan dilatih dengan baik dan betul, maka tidak mustahil seseorang itu mampu menjadi atlet dan menyertai kejohanan pada peringkat dunia serta mampu mengharumkan nama negara dan keluarga masing-masing.\nMelalui pembelajaran seni bela diri, masyarakat khususnya golongan wanita dapat membentuk dan menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan kerana kebanyakan aliran seni mempertahankan diri mendidik individu untuk menghormati setiap orang dari pelbagai peringkat usia. Sikap hormat-menghormati serta rendah diri menjadi perkara asas yang perlu dibentuk dalam diri pelajar seni bela diri. Selain itu, individu yang mengikuti kelas seni bela diri juga diingatkan supaya sentiasa mentaati agama, ibu bapa dan guru yang merupakan tonggak utama dalam mempelajari sesebuah ilmu pengetahuan.\nSeni bela diri jelas memberikan banyak faedah sekiranya masyarakat khususnya golongan wanita mempelajari seni tersebut khususnya dalam menempuhi senario dunia yang semakin mencabar pada ketika ini. Oleh hal yang demikian, semua pihak perlu cakna akan kepentingan untuk mempelajarinya agar dapat melahirkan generasi wanita yang memiliki sekurang-kurangnya ilmu asas dalam seni mempertahankan diri sekiranya menghadapi sebarang ancaman kelak." "Tujuh Teras Nadi Keunggulan KPM \u2013 YB Fadhlina Sidek\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Setelah menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai Menteri Pendidikan pada Disember lalu, YB Fadhlina Sidek terus komited untuk memastikan bahawa kualiti pendidikan negara akan terus terjamin. Antara pendekatan yang dibawa oleh beliau adalah dengan memperkenalkan tujuh teras utama yang menjadi nadi kementerian tersebut.\nMenurut Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek dalam sesi temu bual program Sembang Didik yang disiarkan melalui DidikTV pada malam tadi, pengalaman beliau selama 20 tahun sebagai aktivis dan juga peguam telah membantu beliau menerajui KPM dengan lebih efisien. Hal ini dapat dilihat apabila beliau telah menjadikan tempoh dua minggu ketika beliau mula-mula menerajui KPM sebagai fasa mendengar setiap permasalahan dan isu yang wujud dalam kalangan pemegang taruh di KPM.\nSebagai usaha untuk memastikan KPM terus komited memberikan pendidikan untuk semua, maka tujuh teras utama telah diperkenalkan pada 15 Disember 2022 yang memberikan penekanan terhadap semua pemegang taruh seperti pelajar, guru dan ibu bapa. YB Fadhlina Sidek turut mengatakan bahawa keutamaan kerajaan pada hari ini adalah berkaitan dengan taraf ekonomi dan isu kos sara hidup. Oleh itu, isu kemiskinan yang dihadapi dalam kalangan pelajar, terutama golongan B40 amat dititikberatkan.\nYB Fadhlina Sidek mengulas lanjut tentang kemiskinan yang tidak boleh ditakrifkan dalam konsep satu hala sahaja, namun harus dilihat secara multidimensi. Hal ini\u00a0 demikian kerana kemiskinan turut merangkumi kemiskinan dari segi kemiskinan peranti, kemiskinan nutrisi dan kemiskinan ruang belajar.\n\u201cOleh itu, kerjasama dengan kementerian lain untuk menangani masalah kemiskinan amat diperlukan. KPM telah bekerjasama baik dengan semua kementerian kerana pendidikan merupakan nadi negara. Selain itu, kerjasama dengan komuniti juga penting dalam menyokong isu pendidikan negara,\u201d ulas beliau ketika program Sembang Didik yang dikendalikan oleh Nisa Kay dan Akhmal Nazri sebagai pengacara.\nSelain isu kemiskinan, isu komunikasi antara kementerian dengan sekolah juga merupakan perkara penting untuk memastikan komunikasi tersebut lebih cekap dan telus. Antara langkah yang diambil oleh KPM adalah dengan memperkenalkan portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan Portal Aduan Buli. Melalui portal tersebut, kesemua aduan dapat dibuat dan ditangani dengan lebih efektif dan berkesan.\nTambah beliau, Portal Aduan Buli bukan sahaja memberikan manfaat kepada guru, namun turut memberikan manfaat kepada pelajar kerana mereka boleh menyalurkan aduan dan berhubung secara langsung. Hingga kini, jumlah aduan yang diterima melalui Portal Aduan Buli telah melebihi 260 aduan dan KPM sedang menangani kesemua aduan tersebut secara efektif dan segera. Beliau turut memberikan jaminan kepada semua pemegang taruh bahawa setiap aduan akan ditangani tanpa kompromi.\nYB Fadhlina Sidek turut menerangkan bahawa setiap sekolah mempunyai permasalahan yang tersendiri. Sebagai contoh, isu kepadatan pelajar dalam sesebuah sekolah, terutamanya di bandar. Oleh itu, pendekatan holistik harus dibuat seperti penempatan di sekolah baharu untuk mengurangkan jumlah kepadatan pelajar.\nSebagai kementerian yang peka terhadap setiap permasalahan berkaitan dengan pendidikan negara. YB Fadhlina Sidek turut mengatakan bahawa KPM telah menyalurkan sebanyak RM50 juta untuk penyelenggaraan pasca banjir yang melanda negara baru-baru ini. Hal tersebut amat penting untuk memastikan sekolah tersebut selamat untuk pelajar dan guru.\nDalam sesi bual bicara tersebut, beliau turut mengulas dengan lebih lanjut berkaitan dengan aspek karamah insaniah yang ditekankan dalam tujuh teras utama KPM. Konsep karamah insaniah tersebut menerangkan konsep menyatukan antara segmen Rukun Negara dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Apabila kita berbicara tentang karamah insaniah, kita inginkan segmen Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dirangkul bersama-sama dalam konteks karamah insaniah. Dalam konteks tersebut, konsep manusiawi turut diperkenalkan, iaitu setiap pelajar mempunyai perasaan empati dan kasih sayang antara satu sama lain.\nSelain menjaga kebajikan pelajar, kebajikan guru juga menjadi fokus utama dalam teras utama yang dibawa oleh KPM. Antara isu kebajikan guru yang saban tahun menjadi fokus KPM adalah berkaitan dengan bebanan yang dihadapi oleh guru. Oleh itu, antara langkah awal yang telah diumumkan pada 15 Disember 2022 adalah dengan mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan, yang akan memfokuskan secara terus berkaitan dengan masalah bebanan guru.\nBeliau turut berkata,\nPendidikan mempunyai jumlah pemegang taruh yang besar kerana setiap pihak berpandangan bahawa mereka merupakan sebahagian daripada pendidikan. Hal ini dikatakan demikian kerana pendidikan akan menentukan watak bangsa dan pendidikan akan menentukan masa depan negara. Oleh itu, KPM akan mendapatkan pandangan dan saranan daripada setiap pemegang taruh untuk menambah baik fungsi KPM.\nTujuh teras utama yang akan diberikan tumpuan penuh oleh KPM adalah seperti yang berikut:" "Wartawan Ceriakan Majlis Makan Malam KMEK\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAlor Setar\u00a0\u2013 Kira-kira 100 orang wartawan daripada pelbagai media massa telah menghadiri Majlis Makan Malam anjuran Kelab Media Elit Kedah (KMEK) yang berlangsung pada 7 Januari 2023 di Hotel Raia, Alor Setar ,Kedah bagi meraikan ahli-ahlinya." "Mahasiswa UiTM Turun Padang Program Khidmat Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMenurut beliau lagi, melalui penganjuran program seperti ini, mahasiswa dapat mengeratkan lagi hubungan dengan masyarakat setempat dan membangkitkan kesedaran untuk memberikan khidmat bakti yang terbaik kepada masyarakat." "Raja Muda Perlis Agih Zakat kepada Asnaf di Beseri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBeseri \u2013 Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bernilai RM400 secara tunai setiap seorang kepada 19 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid As Sakinah, Padang Melangit, Beseri dengan jumlah penuh RM7600 pada kali ini.\nPada majlis tersebut, Saad Jaya yang diwakili isteri beliau telah menerima mock kunci sebuah rumah baharu yang dihuni mereka bermula 23 Disember 2022 baru-baru ini atas sumbangan MAIPs daripada Tuanku Syed Faizuddin Putra.\nPada masa yang sama, Raja Muda Perlis turut bertitah dalam majlis tersebut untuk seseorang menjadi pemerhati yang baik jika dipilih bekerja dalam mana-mana organisasi seperti kenali karakter rakan sekerja dan pegawai tertinggi sama ada mereka dalam golongan positif atau negatif.\nSelain itu, walaupun mereka mempunyai aura positif, pasti akan ada juga perbezaan yang wujud dalam perhubungan.\n\u201cOleh itu, warga kerja haruslah saling berkompromi dan empati dengan menerima persamaan dan meraikan perbezaan,\u201d titah baginda.\nBerangkat sama ke Program Hijrah Minda MAIPs tersebut ialah anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail dan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim\u00a0 Mohd. Noor, serta amil kariah, Asnan Senawi.\nSelepas program tersebut, Tuanku Raja Muda selaku Yang DiPertua MAIPs bersama-sama Syed Sirajuddin Areeb\u00a0 Putra turut berkenan menyantuni rumah asnaf Kalsum Mohamad berusia 71\u00a0 tahun yang tinggal di Jalan Padang Melangit bersama-sama keluarga bagi menyampaikan sumbangan. Beliau merupakan salah seorang penerima Bantuan Sara Hidup Berkala MAIPs, Bantuan Sebuah Rumah MAIPs dan juga Bantuan Fitrah MAIPs." "Anugerah Pencapaian Pekerja Sepanjang Tahun 2022 kepada Staf DBP Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Pada 9 Januari 2023, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) mengadakan Perhimpunan Bulanan Bil.1/2023 dan Majlis Penghargaan Staf DBP Cawangan Sarawak. Majlis telah dihadiri oleh Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBPCS, Ja\u2019afar Haji Hamdan, Timbalan Pengarah, Pengurusan DBPCS dan staf-staf DBPCS.\nDalam ucapan alu-aluan, Pengarah DBPCS menyampaikan amanat tahun baharu dan mengingatkan supaya setiap pekerja perlu mengekalkan tahap disiplin diri yang tinggi, selain menepati masa dan memberikan komitmen yang penuh. Beliau turut berharap agar staf DBPCS dapat memperkukuhkan hubungan baik dalam kalangan staf, sekali gus menjaga nama baik organisasi.\nPenglibatan dalam kegiatan kebahasaan dan sastera yang dianjurkan oleh organisasi wajar digiatkan kerana selaras dengan usaha memartabatkan imej DBP. Dalam majlis tersebut juga diadakan majlis penyampaian sijil Anugerah Pekerja Sihat yang telah disampaikan kepada staf DBP Cawangan Sarawak yang tidak pernah mengambil cuti sakit sepanjang tahun 2022.\nMenurut Pengarah DBPCS, penganjuran majlis sebegini diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara sesama staf dan memberikan penghargaan kepada mereka yang telah menunjukkan komitmen dan dedikasi yang tinggi sepanjang menggalaskan tugasan pada tahun 2022.\nDi samping itu, majlis penyampaian Anugerah Pencapaian Pekerja Sepanjang Tahun 2022\u00a0turut diadakan\u00a0kepada staf yang telah bergiat aktif dalam aktiviti kebahasaan dan sastera serta staf yang telah menerima pengiktirafan dan penghargaan dari agensi luar atas kejayaan dan sumbangan kepada organisasi.\nDalam perkembangan yang sama, sesi ceramah turut diadakan bagi memperkukuhkan nilai integriti dan kebertanggungjawaban dalam urusan harian. Ceramah yang bertajuk Konflik Kepentingan: Cegah Amalan Rasuah telah disampaikan oleh Encik Othman Anyan, Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah\u00a0 Malaysia Sarawak.\nObjektif ceramah ini bertujuan untuk memberikan kesedaran dan pengetahuan kepada warga DBPCS tentang keburukan dan kesan jenayah rasuah. Diharap program seperti ini dapat memberikan manfaat dan sebagai panduan kepada staf dalam menjalankan tugasan sepanjang tahun." "Old Frees Association Bakal Sambut Ulang Tahun ke-100\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Bersempena ulang tahun ke-100, Old Frees Association (OFA) akan mengadakan majlis sambutan pada 17 April 2023 akan datang di The OFA, Jalan Sultan Ahmad Shah, Pulau Pinang.\nRaja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menerima sembah hormat oleh kepimpinan Old Frees Association 2022-2023 yang diketuai oleh Presiden OFA, Andrew Lim Chong diadakan di Galeri Diraja Arau pagi tadi.\nBerangkat sama ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.\nDalam kunjungan sembah hormat tersebut, pihak OFA mempersembahkan undangan rasmi kepada Tuanku Raja Perlis selaku Penaung DiRaja OFA dan Tuanku Raja Muda Perlis untuk berangkat menghadiri sambutan perayaan tersebut.\nBaginda berdua yang juga merupakan bekas pelajar Penang Free School itu turut dipersembahkenalkan kepada sebanyak 14 orang ahli jawatankuasa The Old Frees\u2019 Association dan juga ahli jawatankuasa sambutan OFA yang ke-100.\nAntara ahlinya, termasuklah Naib Presiden, James Liaw Keng Siong, Setiausaha Kehormat, Alex Tan Hee Aik dan Bendahari Kehormat, Raman a/l R. M. Athappan.\nMajlis sembah mengadap tersebut diselaraskan oleh Naib Presiden OFA, Enrique Tan Kim Hock dan Ahli Seumur Hidupnya, Ivan Ooi.\nTuanku Syed Sirajuddin bertitah, isu penghijrahan kumpulan profesional, tenaga pakar dan bakat ke luar negara adalah penting untuk mendapatkan pekerjaan lebih baik atau lebih dikenali sebagai brain-drain yang merupakan satu isu amat besar dan tidak boleh diambil mudah kerana bakal memberikan kesan kepada negara.\nPada masa yang sama, Tuanku Raja menegaskan bahawa sistem pendidikan perlu diberikan perhatian penuh dan dinilai tambah tanpa mengubah polisi tertentu setiap kali bertukar pucuk kepimpinan. Hal ini dikatakan demikian kerana kesannya akan terpalit kepada generasi muda, terutamanya dalam usaha melahirkan tenaga pakar dan bakat dalam negara ini." "Peperiksaan STAM 2022 Bermula pada 16 Januari Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Sebanyak 4634 pelajar bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2022 yang dilaksanakan bermula pada 16 Januari 2023.\nKementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa peperiksaan STAM pada kali ini melibatkan sebanyak 134 buah pusat peperiksaan di seluruh negara bagi tarikh peperiksaan pada 16 Januari hingga 19 Januari, 30 dan 31 Januari 2023, dan 2 Februari 2023.\nBagi memastikan kelancaran sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung, KPM menasihatkan semua calon agar membuat semakan jadual waktu peperiksaan yang disediakan.\nCalon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.\u201d\n\u201cCalon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan STAM tahun 2022.\nMengulas lanjut, calon boleh mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan peperiksaan menerusi laman sesawang Lembaga Peperiksaan." "Komik Bukan Sekadar Hiburan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSelangor \u2013 Usaha anak muda dalam mengangkat komik ke arah pembelajaran menjadi kenyataan apabila tertubuhnya Syarikat BoneyBone Studio. Syarikat ini bermula dengan buku bersiri Perjalanan MISI sebagai eksperimentasi bagi melihat perjalanan adunan komik yang menghiburkan yang terselit bersamanya pendidikan.\nPerjuangan Afiq Salam dan Nazry Salam sebagai pelukis komik yang mempunyai pengalaman melebihi 10 tahun pastinya dapat membuatkan mereka menarik nafas lega apabila angan-angan yang bermula dengan cetusan idea kini menjadi kerjaya buat mereka dan sentiasa berusaha untuk menghasilkan karya-karya terbaharu.\nBuku pertama mereka yang bertajuk MISI 8A ternyata merupakan permulaan yang memberangsangkan apabila mendapat sambutan ramai bagi cetakan pertama. Detik itu menjadi pemangkin untuk mereka berdua lebih aktif menghasilkan karya Siri MISI selama lapan tahun dan akhirnya pada tahun 2019, buku Siri MISI berjaya terbit hingga bilangan ke-20.\nTerdahulu, perjalanan MISI ini bertapak dan bermula pada tahun 2010 dengan buku pertama, iaitu MISI 8A yang membawa jenama MISI sebagai komik hiburan dan pendidikan sampai ke tangan pembaca. Sambutan hangat itu membuahkan hasil apabila siri kedua yang berjudul MISI 10A diterbitkan. Siri kedua ini merupakan sambungan kepada MISI 8A yang mengisahkan Aizad dan Zahid yang berlatarbelakangkan sekolah asrama penuh. Dalam siri ini juga wataknya semakin berkembang dengan munculnya watak-watak yang lain seperti Fizi, Kimi, Mat dan Putera.\nPada tahun 2012, buku ketiga MISI 10A Plus pula lebih dramatik apabila mahu memberikan ingatan kepada pembaca tentang pembinaan setiap watak dalam buku MISI di luar bidang akademik. Penulisnya berharap agar pembaca jatuh cinta dengan setiap watak apabila memberikan bakat dan minat dalam watak supaya lebih dekat dengan pembaca. Strategi ini berjaya memikat hati pembaca kerana mengembangkan watak-watak dengan baik. Sudah pasti fasa ini berjaya melahirkan peminat kelab MISI untuk sentiasa menantikan buku terbaharu mereka.\nPada tahun 2014, buku terakhir MISI 10A Finale merupakan perjuangan watak-watak yang berada di sekolah menengah. Penulisnya mahu membawa pembaca masuk ke dunia universiti dan pekerjaan serta mahu memastikan pembaca sentiasa mempunyai minat untuk menyambung pelajaran atau mempunyai cita-cita yang jelas. Buku ini membawa mesej harapan kepada pembaca untuk sentiasa menjadikan pembelajaran sebagai perkara utama. Walaupun diadun dengan hiburan yang menggelikan hati namun ada ketikanya hiburan itu \u201cmenjentik\u201c pembaca bersama-sama nasihat dan teguran halus.\nPerjalanan MISI ini masih diteruskan hingga kini kerana sering mendapat permintaan pembaca. Selain menerbitkan buku komik sebanyak 30 judul, BoneyBone Studio juga melakukan animasi 2D yang telah disiarkan melalui Youtube rasmi Official MISI dan platform media sosial yang lain. Oleh itu, semoga semua pihak dapat memberikan sokongan penuh kepada usaha mereka yang tidak jemu-jemu menghasilkan karya yang bermutu." "KPM dan KBS Komited terhadap Keselamatan dan Kebajikan Murid\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013\u00a0Susulan daripada kejadian jurulatih bola tampar yang menampar dua orang pemainnya semasa Kejohanan Bola Tampar Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor yang tular dalam media sosial baru-baru ini, sidang media khas telah diadakan bersama-sama antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).\nSebelum itu, Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) telah membatalkan lesen jurulatih tersebut melalui proses yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Perundangan dan Disiplinnya. Jurulatih tersebut yang juga merupakan seorang guru tidak lagi dibenarkan menjadi jurulatih sukan tersebut termasuklah menjadi jurulatih untuk murid sekolah.\nSeiring dengan tindakan MAVA tersebut, Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dan Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dalam sidang media khas tersebut telah menegaskan bahawa kedua-dua kementerian itu tidak akan sesekali berkompromi dalam usaha memastikan keselamatan dan kesejahteraan atlet, khususnya yang melibatkan mereka di peringkat umur muda. Kejadian seumpama itu boleh memudaratkan pembangunan bakat masa hadapan negara.\nYB Hannah Yeoh menyatakan bahawa insiden itu telah membuka mata bahawa terdapat keperluan untuk mewajibkan semua jurulatih kepada murid sekolah untuk menjadi sebahagian daripada Skim Perlesenan Kejurulatihan Kebangsaan (SLKK) dan Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK). Ujarnya lagi,\nKBS sendiri telah mengarahkan Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) dan Institut Sukan Negara memastikan perlaksanaan peraturan yang mewajibkan setiap jurulatih memperbaharui lesen kejurulatihan yang diperolehi setiap dua tahun sekali diperketatkan lagi bagi memastikan jurulatih sukan negara sentiasa dipantau perkembangan dan keaktifan karier kejurulatihan mereka.\nPenguatkuasaan peraturan tersebut juga membolehkan pihak AKK dan pemegang taruh mengemas kini data selain meningkatkan kemahiran kejurulatihan mereka seiring dengan teknologi terkini.\nSelain itu, siasatan oleh KPM berkaitan dengan kejadian tersebut juga telah selesai dijalankan. Menurut YB Fadhlina Sidek, siasatan telah dibuat secara menyeluruh melibatkan semua pihak yang berkaitan, termasuklah jurulatih, murid, rakan sepasukan, guru, pengurus pasukan, saksi kejadian serta ibu bapa pemain yang terlibat. Jelasnya lagi,\nKPM juga telah meneliti secara terperinci hasil laporan siasatan daripada pelbagai sudut, khususnya yang melibatkan etika serta imej profesion perguruan. Guru yang juga merupakan penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan 4(2)(d), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.\nSelain itu, beliau juga menyatakan bahawa KPM amat prihatin dan cakna terhadap aspek keselamatan dan kebajikan murid semasa di sekolah mahu pun ketika mengikuti aktiviti kokurikulum di luar.\nTurut hadir dalam sidang media khas tersebut ialah Timbalan Menteri Pendidikan, YB Lim Hui Ying, Ketua Setiausaha KPM, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato\u2019 Haji Pkharuddin Haji Ghazali, dan Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia, Encik Hean Boon Yeow." "Pembelajaran Sepanjang Hayat Melahirkan Modal Insan Berkualiti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam mendepani cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), pelbagai pihak mula bergiat aktif dalam merealisasikan agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH) di Malaysia. Di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), kerajaan berjaya melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat dengan memfokuskan kepada pembangunan dan penambahbaikan pendidikan secara inovatif. Hasilnya, pemahaman masyarakat terhadap pendidikan terkini daripada konteks yang pelbagai dan idea yang menyeluruh berkaitan dengan pembelajaran sepanjang hayat sudah mula menampakkan hasil.\nDi seluruh negara, pelaksanaan aktiviti pembelajaran sepanjang hayat telah berlaku dalam skala besar dengan aspirasi melahirkan modal insan berkualiti dengan minda kelas pertama. Dasawarsa ini juga memperlihatkan bahawa pembelajaran sepanjang hayat di Malaysia tidak lagi hanya menumpukan kepada kemajuan fizikal institusi pendidikan semata-mata, tetapi lebih mengutamakan perkembangan holistik individu pelajar dan impak akhir pembelajarannya.\nSecara umumnya, pembelajaran sepanjang hayat boleh dijelaskan sebagai proses apabila seseorang individu, pengajar, universiti, serta komuniti komited dalam usaha memberikan insentif dan galakan kepada pelajar dalam meningkatkan pengetahuan tambahan dan kemahiran sepanjang hayat mereka. Hal ini termasuklah proses pembelajaran sepanjang hayat, sama ada secara formal, bukan formal mahupun tidak formal. Misi pembelajaran sebegini adalah untuk memenuhi keperluan tenaga kerja dan rasa ingin tahu individu serta kebolehan mereka untuk seumur hidup.\nPada peringkat global, PSH telah dilaksanakan secara meluas sebagai elemen penting yang amat tinggi nilai pendidikannya, termasuklah di Eropah. Dengan kolaborasi dinamik antara universiti dengan pelajar dan pihak berkepentingan, transformasi terhadap fungsi tradisional di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia telah berlaku secara besar-besaran. Kini, IPT bukan sekadar mendidik pelajar muda lepasan sekolah, tetapi turut mendidik pelbagai golongan pelajar termasuklah pelajar dewasa yang kembali semula menyertai pengajian tinggi pada fasa dan latar yang berbeza (walaupun setelah berjaya memiliki kerjaya yang baik).\nRealitinya, anjakan paradigma pembelajaran sepanjang hayat pada masa ini turut menunjukkan bahawa setiap IPT, sama ada awam mahupun swasta berusaha untuk menyokong setiap pelajar yang berpotensi dan bermotivasi untuk kembali mendaftar di universiti sebagai pelajar sepanjang hayat. Dalam hal ini, IPT telah memanifestasikan sokongan dalam bentuk penawaran PSH yang bervariasi sama ada secara formal, bukan formal serta tidak formal. Pembelajaran PSH formal boleh dijelaskan sebagai pengajian yang berstruktur penuh dengan akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan penawaran sijil kelayakan akademik formal seperti diploma dan ijazah. PSH bukan formal pula merupakan pembelajaran dengan struktur yang lebih fleksibel berbanding dengan PSH formal yang kebiasaannya bertujuan meningkatkan tahap profesionalisme (kerjaya) dan tidak membawa kepada sebarang kelayakan formal. Antara contoh PSH tersebut ialah kursus profesional, bengkel, seminar, dan latihan eksekutif. Manakala, PSH tidak formal bermaksud pendidikan santai yang membimbing seseorang itu dalam kemahiran yang berasaskan minat individu atau hobi atau dalam aktiviti pembangunan komuniti. PSH tidak formal yang popular adalah berbentuk program kemasyarakatan, program keagamaan dan kursus masakan.\nSejajar dengan agenda PSH nasional juga, IPT perlu menyediakan kemudahan alternatif kelayakan gabungan termasuklah mengiktiraf pengalaman hidup terdahulu individu (APEL). Malah institusi berkenaan harus menyegerakan penawaran kemudahan pemindahan kredit terdahulu bagi membantu mereka meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi seperti sijil, diploma atau ijazah yang formal melalui program Micro-credential. Di samping itu, program-program yang telah diiktiraf oleh akreditasi boleh ditawarkan dalam unit pembelajaran yang lebih kecil. Hal ini bagi membolehkan para peserta belajar memfokuskan topik atau unit pembelajaran mengikut kesesuaian dan kemampuan mereka.\nOleh itu, lebih banyak peluang akan disediakan buat mereka yang memiliki pengalaman kerja mahupun yang bersara walaupun dengan kekurangan atau ketiadaan kelayakan akademik untuk melanjutkan pengajian ke IPT seperti kebiasaannya. Transformasi baharu pendidikan masa kini pasti berupaya memberi nilai tambah kepada individu masyarakat sama ada melalui pengajian secara sambilan atau sepenuh masa bagi memenuhi kehendak majikan. Selain itu, PSH turut menawarkan latihan peningkatan kemahiran bagi membolehkan seseorang itu menjadi lebih baik dalam pekerjaan (upskilling). Malah, kemahiran tambahan dan keupayaan baharu melalui PSH juga akan mampu membantu seseorang beralih ke tahap kemahiran yang baharu (reskilling) di samping memperkukuh\u00c2\u00a0kelayakan akademik mereka.\nPada hakikatnya, aktiviti pengajaran dan pembelajaran sepanjang hayat tempatan turut dirancakkan lagi dengan kemajuan teknologi digital negara walaupun ketika dunia masih dilanda pandemik COVID-19. Dalam erti kata lain, peluasan akses dan pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat dalam talian dipacu oleh kepesatan teknologi digital. Walaupun mod penyampaian yang berbeza menyokong pembelajaran pelajar mengikut lokasi geografi mereka, keunikan gaya pembelajaran dan melibatkan kekangan masa, namun kaedah pedagogi pengajar yang dinamik membolehkan teknologi digital menyerlahkan potensi penuh para pelajar sepanjang proses pembelajaran mereka. Dengan erti kata lain, pendidikan tinggi memanfaatkan kepelbagaian pelajar sebagai pelajar sepanjang hayat melalui pendekatan pendidikan konstruktif dan pembelajaran yang berpusatkan pelajar.\nNatijahnya, fleksibiliti pengajaran dan pembelajaran sentiasa ditingkatkan kerana pelajar dan pengajar adalah bebas untuk belajar dan mengajar pada bila-bila masa dan di mana-mana jua. Dengan disokong oleh teknologi, mereka memperoleh ruang dan masa yang fleksibel untuk menyediakan konteks, memupuk refleksi dan berinteraksi secara dinamik. Sebagai contoh, antara medium teknologi digital yang menjadi pilihan utama platform PSH ialah sidang video, sidang audio, nota multimedia, wahana Web 2.0 dan lain-lain bagi menyediakan pembelajaran yang fleksibel kepada warga industri dan pelajar PSH.\nYang menariknya, PSH mampu membantu pelajar agar saling melengkapi antara satu sama lain kerana strategi pendidikannya amat mementingkan pengalaman mereka sebelum ini. Pengajar atau fasilitator PSH menyediakan ruang untuk pelajar atau peserta kursus untuk saling bertukar pengalaman dan memotivasikan pembelajaran komplementari dengan merangsang motivasi mereka. Aktiviti pembelajaran sebegini amat memerlukan setiap daripada mereka agar sedia berkongsi dengan sesiapa sahaja, sedia dibimbing sama ada secara berstruktur dan kurang berstruktur dan perlu sentiasa fleksibel untuk beradaptasi dengan sebarang ilmu serta perubahan baharu. Aktiviti PSH juga perlu menyokong interaksi sesama pelajar atau peserta sama ada yang memiliki lebih atau kurang pengalaman profesional atau antara pelajar dengan latar belakang akademik, demografik dan profesional yang berbeza. Oleh hal yang demikian, PSH perlu membawa perubahan kepada sistem pendidikan negara agar lebih dinamik dan terbuka melalui galakan penglibatan dalam memperkaya pengalaman dan kemahiran pembelajaran untuk manfaat pada masa hadapan. Di samping itu, usaha kolaborasi antara IPT awam dan swasta yang melibatkan kepakaran tenaga pengajar, guna sama infrastruktur PSH terutamanya bagi aktiviti sesama agensi PSH harus dimantapkan demi manfaat bersama komuniti setempat melalui perkongsian strategik ilmu dan kemahiran.\nSementara itu, kepelbagaian di semua peringkat dalam kalangan pelaksana PSH mencerminkan hakikat bahawa setiap daripada mereka termasuk universiti, sebenarnya memiliki objektif pelaksanaan yang berbeza-beza dan mungkin melibatkan lebih daripada satu tujuan dalam misi penawaran PSH. Objektif umum PSH mereka mungkin bersifat sebagai tindak balas terhadap keperluan pasaran buruh, merangsang pembangunan peribadi dengan menyediakan program pembangunan khusus untuk siswazah dan menggalakkan penyertaan pelajar bukan profesional agar terus belajar. Ada juga pihak yang menyasarkan alternatif bagi menarik kumpulan baharu ke universiti dan memenuhi keperluan setiap warga dalam semua aspek kehidupan.\nPSH juga dilihat sebagai wahana yang menyokong sosial, budaya dan pembangunan ekonomi tertentu melalui usaha mencari sumber pendapatan baharu yang mapan. Hal ini menunjukkan bahawa institusi boleh menjadi proaktif dan responsif, serta boleh menjangkau dalam memenuhi keperluan dengan mengoptimumkan kecekapan dan sumber sedia ada. Mereka juga harus mengutamakan pembangunan, strategi akademik dan penyelidikan mereka sendiri, selain perkongsian dengan pihak berkepentingan antarabangsa dan serantau (termasuklah syarikat kecil, perusahaan sederhana dan multinasional) untuk menggalakkan pembangunan mampan. Tidak lupa juga, hubungan strategik antara agensi pelaksana PSH dengan industri yang berkaitan perlu sentiasa dipertingkatkan menerusi perkongsian program, kepakaran, kemudahan infrastruktur, pemindahan kemahiran dan teknologi.\nSecara tuntasnya, adalah diharapkan supaya semua pihak dapat berganding bahu dalam menawarkan pelbagai program PSH termasuklah program formal, bukan formal mahupun yang tidak formal demi merealisasikan pembangunan profesional, para akademik, industri, komuniti mahupun individu. Semua pihak harus berusaha sedaya yang mungkin untuk memberikan komitmen yang padu, sekali gus menterjemahkan PSH dalam bentuk perancangan, pembangunan, pelaksanaan dan pengiktirafan PSH yang berimpak tinggi. Sudah pasti usaha ini harus berpandukan kepada garis panduan yang telah digarapkan oleh agensi kelayakan atau penyedia PSH yang berautoriti di Malaysia, selain turut menyebarluaskan perkembangannya sehingga ke peringkat global. Bukan itu sahaja, sumber daya dan prasarana sedia ada di setiap IPT dan agensi pelaksana PSH diharap dapat menyerlahkan keunikan demi merealisasikan pelaksanaan PSH Malaysia ke arah pemerkasaan pembelajaran digital IR 4.0 dan pembangunan modal insan yang berkesinambungan.\nDr. Che Wan Ida Rahimah Che Wan Ibrahim, Pensyarah Pusat Pendididkan Asas dan Lanjutan (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu.\nAmir Mustafa, Guru Bahasa Melayu, Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Terengganu." "Antara Kopi dengan Teh\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKopi dan teh merupakan minuman yang paling berkuasa di dunia! Kedua-dua jenis minuman ini menjadi pilihan minuman yang digilai oleh penghuni planet bumi. Tiada sesiapa yang mampu mengetepikan kewujudan kopi dan teh di atas meja yang sama kerana sesiapa sahaja bebas memilih kopi atau teh kerana kedua-duanya boleh dinikmati serentak.\n Bukanlah sesuatu yang pelik sekiranya peminum kopi, minum teh pada masa yang sama dan percayalah, hampir setiap kediaman pasti memiliki kedua-duanya, sama ada kopi atau teh yang menjadi pilihan utama, hal itu tidak sesekali diperdebatkan kerana kopi akan terus menjadi kopi dan teh kekal dengan kelasnya yang pelbagai.\nKopi tidak sukar diramal. Sama ada anda memilih versi panas atau sejuk, kopi hitam, kopi segera atau kopi tanpa kafein, semua variasi ini datang daripada tumbuhan yang sama \u2013 kopi. Namun begitu, tidak bagi teh. Dalam bahasa sehari-hari, di Amerika Syarikat, \u201cteh\u201c pada dasarnya boleh membawa maksud sebarang koleksi daun, kulit kayu, ranting, akar dan biji yang direndam dalam air panas. Kesemuanya digelar teh. Walau bagaimanapun, dari segi botani, teh sebenarnya merujuk tumbuhan tertentu yang dikenali sebagai camellia sinensis dan daripada tumbuhan ini terhasillah ribuan jenis teh yang semuanya boleh disusun dalam enam kategori, iaitu;\nBerbeza daripada kopi \u2013 berasal daripada buah kopi, manakala teh pula berasal daripada daun. Walau bagaimanapun, kedua-duanya berasal daripada pokok renek malar hijau. Kopi diperbuat daripada biji kopi ceri yang dikisar halus. Kopi juga merupakan buah tropika yang hanya berbuah sekali untuk tempoh setahun. Kopi hanya tumbuh di kawasan tropika, terutamanya di jalur khatulistiwa di sekitar Amerika Tengah dan Selatan, Afrika, dan Asia Tenggara. Hal ini berbeza daripada teh yang tumbuh hampir di semua tempat dan negara. Teh terhasil daripada daun, khususnya pucuk baharu pada dahan dan batang tumbuhan. Di sesetengah iklim, pokok teh akan terus mengeluarkan daun baharu sepanjang tahun. Hal ini bermaksud banyak ladang teh dapat menuai hasil mereka beberapa kali dalam tempoh setahun.\nKOPI DAN TEH SEBAGAI UBAT\nMungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa kopi dan teh pernah digunakan sebagai ubat-ubatan sebelum menjadi minuman pilihan di dunia. Menurut catatan sejarah, asal-usul kopi bermula di Ethiopia, di mana ratusan jenis kopi liar \u2013 bilangan yang tidak terhitung jumlahnya masih tidak dikatalogkan \u2013 masih tumbuh pada hari ini. Dipercayai bahawa kopi tiba di negara jiran, Yaman antara abad keenam dengan abad ke-15. Sementara itu, sejarah teh bermula di Asia Tenggara, iaitu China, Myanmar, Vietnam, dan Laos. Negara ini juga dipenuhi dengan pelbagai jenis teh liar.\nHubungan pertama teh dengan manusia terjalin melalui perubatan dan makanan. Pada ketika itu, daun teh yang dituai direbus menjadi sup dan dihidangkan bersama-sama dengan nasi. Teh juga digunakan sebagai tonik kesihatan. Hanya pada pertengahan abad ketujuh, apabila penyair Cina prolifik, Lu Yu menerbitkan risalahnya, \u201cThe Classic of Tea,\u201c barulah budaya teh yang ditapis secara unik mula digunakan di China. Budaya ini berasaskan seni, puisi, dan penghormatan kepada alam semula jadi, dan pada akhirnya merebak ke seluruh Asia selama berabad-abad lamanya.\nDalam perdagangan kopi, terdapat dua spesies pokok kopi, iaitu arabica dan robusta. Robusta ditanam untuk pasaran komoditi, iaitu hasil yang lebih tinggi dan tidak digredkan untuk pelanggan yang gemar akan kualiti yang sama seperti arabica. Bagi teh pula, dapat dibahagikan kepada dua jenis utama, iaitu camellia sinensis dan camellia sinensis var. assamica, atau ringkasnya dikenali sebagai assamica. Dalam teh, walaupun, sinensis dan assamica dianggap hampir sama, namun kedua-duanya masih menawarkan perisa yang berbeza dalam setiap cawan. Sinensis sangat sesuai untuk iklim utara yang lebih sejuk, manakala assamica tumbuh subur di iklim tropika yang lebih panas. Walau bagaimanapun, kedua-duanya tetap digilai oleh penggemar teh yang pastinya boleh menikmati kedua-dua jenis teh ini.\nApa-apa pun tujuan kita meminum kopi atau teh \u2013 sebagai Gaya hidup, menghilangkan mengantuk, atau sudah menjadi sebahagian daripada budaya hidup, kopi dan teh merupakan dua jenis pilihan minuman yang memberikan rasa yang istimewa kepada pencintanya.\nDi kebanyakan negara di Barat, minum kopi menjadi sebahagian daripada rutin harian mereka \u2013 pagi mereka akan dimulakan dengan \u201critual\u201d membaca berita ketika bersarapan pagi dan pastinya akan ditemani dengan secawan kopi. Begitu juga halnya dengan teh.\nPada hari ini, cara kopi dan teh dinikmati pastinya mempunyai banyak perbezaan. Rasa kedua-dua minuman ini juga sudah dipelbagaikan sesuai dengan peredaran zaman dan keinginan pencintanya. Jika generasi terdahulu suka akan kopi atau teh kosong, generasi hari ini mempelbagaikan rasanya dengan pelbagai campuran seperti kayu manis, cengkih, garam gunung, \u00a0bijirin, booba, susu, dan pelbagai jenis manisan. Meskipun pelbagai perisa diadun bersama kopi dan teh, rasa kedua-duanya tidak akan mati dalam apa-apa pun jenis minuman dan hidangan kerana kopi tetap kopi dan teh kekal sebagai teh." "Cabaran Besar KPM dalam Pendidikan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sektor pendidikan merupakan antara sektor terpenting dalam sesebuah negara. Hal ini demikian kerana, kemampanan dan keberkesanan sistem pendidikan akan menjamin mutu pendidikan yang berkualiti kepada generasi muda di sesebuah negara. Lebih-lebih lagi terhadap sistem pendidikan di Malaysia yang mempunyai hala tujunya yang tersendiri, yakni ingin melahirkan generasi muda yang berminda kelas pertama dan mampu berdaya saing mengikut corak kepentingan dan tuntutan semasa.\nNamun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa dalam usaha untuk mewujudkan dan melahirkan sistem pendidikan yang berkualiti di negara ini, masih wujud beberapa cabaran dan rintangan, ditambah pula dengan arus pembangunan dan permodenan di Malaysia yang pada akhirnya menjadikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selaku pemegang taruh utama sistem pendidikan perlu bergerak lebih proaktif dan komprehensif bagi memastikan kemampanan dan keberkesanan sistem pendidikan di Malaysia terus terjamin.\nMenyentuh tentang perihal cabaran dalam sektor pendidikan, malam ini dalam siri rancangan Naratif Khas anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menampilkan YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan dengan membawa penonton untuk menyaksikan perkongsian Menteri Pendidikan dalam bual bicara bertajuk \u201cMendepani Cabaran Sektor Pendidikan\u201c yang dipengerusikan oleh Ismail Adnan. YB Fadhlina Sidek membuka tirai bicaranya dengan menegaskan iltizam kerajaan berkenaan dasar pendidikan yang digagaskan oleh KPM.\n\u201cKetika ini tumpuan negara tertumpu pada isu ekonomi dan juga kos sara hidup. Oleh itu, semua kementerian tidak terkecuali perlu berdepan dengan isu ini, temasuklah KPM. Oleh sebab itu, apabila berbicara tentang hala tuju, KPM telah menggariskan tujuh aspirasi,\u201d jelas YB Fadhlina Sidek ketika memulakan bicara.\nMenurut beliau, kementeriannya akan meneruskan dasar-dasar sedia ada, dengan tumpuan ekonomi dan kos sara hidup diberi keutamaan, tetapi tidak meminggirkan soal aspirasi tersebut. Tujuh aspirasi ini mengambarkan keseluruhan pergerakan, hala tuju, dan cabaran yang \u00a0akan hadapi oleh KPM sepanjang tahun 2023 dan pada masa hadapan.\nBeliau juga menjelaskan bahawa KPM merupakan antara pemegang taruh terbesar di negara ini dengan menaungi lebih 400 ribuorang guru, lima juta kanak-kanak, 10 ribu buah sekolah dan 10 ribu buah perpustakaan.\nSebagaimana yang dinyatakan oleh beliau,\nKita mempunyai satu dimensi sistem pengurusan terbesar dari segi pemegang taruh dan ibu bapa, guru-guru yang kita kasihi dan juga kanak-kanak. Oleh itu, apakah maknanya apabila kita menyebut tentang pemegang taruh ini? Konsultasi dan musyawarah harus berlaku dan sepanjang saya berada di KPM, saya telah membuka ruang untuk semua pihak datang ke KPM untuk berbincang dan meneliti setiap isu.\nBicara beliau dilanjutkan lagi dengan menyentuh perihal peruntukan kepada KPM pada setiap tahun dan disifatkan sebagai antara kementerian di Malaysia yang menerima peruntukan tertinggi.\nJelas beliau,\nRamai yang menyangkakan disebabkan KPM diperuntukan satu jumlah peruntukan yang besar, maka peruntukan itu harus dilihat untuk menguruskan semua urusan pembangunan dan berkaitan dengan penyelengaraan sekolah semata-mata. Saya harus perbetulkan naratif itu kerana peruntukan sebanyak 82 peratus itu adalah untuk membayar gaji sahaja. Kita mempunyai 400 ribu orang guru, pegawai di jabatan tertentu dan selebihnya itu barulah diperuntukkan untuk program pembangunan.\nBeliau juga menjelaskan bahawa, selain daripada cabaran isu sekolah daif yang menjadi tumpuan di kawasan luar bandar, kepadatan pelajar dalam sesebuah sekolah di kawasan bandar juga akan menjadi keutamaan KPM.\nSoal pembangunan ini bukan hanya tertumpu pada fasilitet yang daif, malah turut melibatkan isu lain yang unik pada setiap sekolah. Kefahaman ini sangat diperlukan supaya kita saling mendokong soal pembangunan daif, penyelengaraan dan isu di setiap sekolah yang kita lihat secara berbeza.\nMenyentuh tentang perihal sistem pendidikan negara pula, beliau menyifatkan bahawa pihak KPM tidak mahu melihat sistem pendidikan di negara ini hanya tertumpu pada soal akademik semata-mata, namun harus bersangkut-paut dengan pembinaan karakter seseorang pelajar, yakni menjadikan penilaian terhadap golongan pelajar itu dengan penilaian yang lebih holistik.\n\u201cAntara perkara yang menjadi keutamaan saya, termasuklah proses latihan untuk guru. Hal ini dikatakan demikian kita perlu memperkukuhkan dan memperjuangkan dalam semua segmen, lebih-lebih lagi berkaitan dengan belanjawan untuk memastikan guru mendapat latihan yang secukupnya dan tahap professionalisme mereka dipertingkatkan. Maknanya, kita akan memfokuskan mengenai guru-guru yang akan menguasai satu zaman yang fenomena, yakni zaman digital. Inilah antara perkara yang kita sedang lakukan, demi mengukuhkan Dasar Pendidikan Digital Kebangsaan. Dasar ini saya fikir sangat penting pada ketika ini dari segi penglibatan dan juga perkembangan semasa\u201d. tegas beliau.\nBeliau juga mengakui akan isu kekurangan infrastruktur dan akses ketersampaian jaringan Internet dalam sektor pendidikan, lebih-lebih lagi dalam usaha membentuk Dasar Pendidikan Digital. Namun begitu beliau bertegas, \u201cKita perlukan dasar ini (Dasar Pendidikan Digital Kebangsaan) kerana dasar ini akan menjadikan infrastruktur dilengkapkan dan tidak akan menyebabkan mana-mana pihak akan ketinggalan, iaitu apabila apabila kita mempunyai dasar, maka infrstruktur perlu diwujudkan dan harus dipersiapkan. Apabila kita mempunyai dasar tertentu, maka peranti juga harus lengkap. Kita sedang dalam proses menyediakan semua perkara tersebut, kerana perkara ini juga merentas kementerian yang lain. Persiapan itu kita sedang lakukan dan kita mahu pastikan dalam tempoh yang terdekat, contohnya pada tahun 2030 kelak kita mahu semuanya sudah lengkap,\u201d tegas beliau.\nBeliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua guru di Malaysia, atas jasa dan pengorbanan yang mereka lakukan, demi memastikan kelangsungan pendidikan di negara ini. Beliau juga menjelaskan bahawa KPM sentiasa mengutamakan permasalahan yang dihadapi oleh guru-guru di Malaysia, lebih-lebih dengan isu beban guru dan tugas perkeranian yang sememangnya bukan tugas seorang guru kerana tumpuan utama seorang guru ialah terhadap pengisian proses pengajaran dan pembelajaran. Tambah beliau, isu tersebut menjadi isu tumpuan KPM pada ketika ini untuk diselesaikan dan memohon sedikit masa bagi membentuk penyelesaian secara holisitik dan berkesan.\nPada akhir sesi rancangan, beliau sempat menyatakan harapan dengan menjelaskan \u201ckualiti guru mesti dipertingkatkan, kemudian peningkatan potensi dan karakter pelajar mesti dikembangkan dan kita mahu melihat bahawa pendidikan karakter menjadi tumpuan dalam konteks merapatkan jurang pendidikan.\u201c" "Majalah Terbitan DBP Menjadi Wahana Pembelajaran di Sekolah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab dalam usaha meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus komited mengadakan program yang memupuk semangat cinta akan bahasa Melayu, terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah. Oleh itu, DBP terus melaksanakan Program Majalah Dalam Kelas (MDK) yang diperkenalkan sejak dari tahun 1988 bagi majalah Dewan Siswa dan pada tahun 1990 bagi majalah Dewan Pelajar. Program MDK diadakan bertujuan untuk membantu guru Bahasa Melayu, khususnya bagi mempelbagaikan kaedah, teknik dan bahan rujukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam kelas.\nSaban tahun, Program MDK terus mendapat sambutan yang positif dalam kalangan guru dan pelajar, sama ada pada peringkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Oleh itu, membuka tirai 2023, sidang editor Dewan Siswa berkesempatan mengadakan Program MDK bersama-sama guru di Wesley Methodist School Kuala Lumpur (International) pada hari ini. Program tersebut telah dihadiri oleh 42 orang guru yang melibatkan pelbagai sekolah seperti Wesley Methodist School Kuala Lumpur (International); Wesley Methodist School Ipoh, Seremban dan Pulau Pinang; Sekolah Menengah Teknik Pulau Pinang; Stella Marry\u2019s International School serta sekolah menengah di sekitar Sungai Buloh dan Klang.\nKetika menyampaikan ucapan perasmian mewakili Pengarah Jabatan Penerbitan (Tuan Haji Razali Che Mat), YBrs. Dr. Rosmani Omar yang merupakan Ketua Editor Bahagian Majalah DBP mengatakan bahawa penggunaan majalah Dewan Siswa di dalam kelas amat sesuai digunakan oleh guru untuk rujukan kepada para pelajar kerana kandungan majalah tersebut memaparkan pelbagai cakupan ilmu dan isu semasa, sama ada dalam bidang kreatif atau pun bukan kreatif, khususnya berkaitan dengan para pelajar di sekolah menengah dan juga universiti. Oleh itu, beliau berpandangan bahawa Dewan Siswa seharusnya menjadi koleksi wajib di setiap pusat sumber sekolah.\nTambah beliau, Program MDK Dewan Siswa yang diadakan pada hari ini juga sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menginginkan para pelajar terlibat dalam proses pembudayaan ilmu. Hal ini bermakna, di samping memastikan pelajar mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang, guru juga dapat melatih dan membimbing mereka untuk mendapatkan seberapa banyak ilmu tambahan yang bermanfaat daripada bahan yang bermutu dan dapat dipertanggungjawabkan.\nMenurut editor Dewan Siswa, Puan Siti Irni Yuslinda Mosman, guru merupakan penggerak utama dalam usaha mendidik pelajar. Hal ini demikian kerana guru bertanggungjawab untuk membentuk hala tuju pelajar di dalam kelas, selain mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif. Oleh itu, program MDK Dewan Siswa amat bertepatan dalam membudayakan ilmu, meningkatkan kecekapan berbahasa, mengasah bakat pelajar dalam bidang penulisan dan memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar.\nPada majlis yang sama, Naib Pengetua Kurikulum Wesley Methodist School Kuala Lumpur (International), Puan Gan Swit Peng turut berhasrat agar Program MDK Dewan Siswa bersama-sama guru yang diadakan pada hari ini dapat memberikan pendedahan kepada guru untuk mengaplikasikan pendekatan dan kaedah yang berkesan dalam mendidik pelajar supaya dapat menguasai penggunaan bahasa yang baik. Hal ini demikian kerana majalah mempunyai keistimewaannya dalam memaparkan isu semasa berbanding dengan buku.\nHasrat yang sama turut dinyatakan oleh Ketua Jabatan (HOD) Bahasa, Wesley Methodist School Kuala Lumpur (International), Encik Sundarappandian a/l Valusamy, iaitu penggunaan majalah sebagai bahan sokongan pengajaran dan pembelajaran merupakan satu daripada usaha untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar. Beliau yang juga merupakan guru Bahasa Melayu di Wesley Methodist School Kuala Lumpur (International) amat berterima kasih kepada pihak pengurusan Wesley Methodist School Kuala Lumpur (International) kerana meskipun sekolah tersebut merupakan sekolah antarabangsa, namun peranan yang dimainkan oleh pihak pengurusan sekolah begitu besar kerana mereka begitu komited memartabatkan bahasa Melayu. Hingga kini, Wesley Methodist School Kuala Lumpur (International) telah melanggan majalah Dewan Siswa sejak 23 tahun yang lalu.\nSebagai usaha untuk memberikan pendedahan kepada guru tentang kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, Program MDK Dewan Siswa ini diharap dapat memberikan panduan kepada para guru tentang penggunaan majalah Dewan Siswa yang berkesan.\nDemikian harapan Encik Sundarappandian semasa ditemu bual oleh editor. Sebagai Ketua Jabatan (HOD) Bahasa, beliau antara guru yang sentiasa menggunakan majalah Dewan Siswa di dalam kelas untuk meningkatkan penguasaan kosa kata dan kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar selain mencambahkan ilmu dalam penguasaan bahasa Melayu.\nSelain Dewan Siswa, majalah Pelita Bahasa yang merupakan antara 11 majalah terbitan DBP turut menjadi bahan rujukan dalam kalangan guru. Oleh itu, sesi taklimat bersama-sama editor majalah Pelita Bahasa, iaitu Encik Mohd Syukri Anwar turut diadakan pada petang tadi sebagai usaha untuk memberikan pendedahan kepada para guru tentang penggunaan majalah tersebut dengan berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.\nTurut hadir dalam Program MDK Dewan Siswa bersama-sama guru pada hari ini ialah Editor Dewan Pelajar, Puan Fansurina Ramli; Editor Tunas Cipta, Puan Siti Noorisa Abdul Khlil; dan Penolong Editor Dewan Siswa, Puan Syafiqah Abdul Khalid yang bertindak sebagai fasilitator program." "Jalinan Mesra Pelajar UUM dengan Komuniti Kampung Keda Melalui Program Keluarga Angkat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBaling \u2013 Sebanyak 45 orang peserta melibatkan pelajar serta dua orang pensyarah dari jurusan Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti (SCOHOST), Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok telah menyertai program Small Steps to Big Changes (SSTBC) 2023 di Desa Lestari Kampung Keda, Ulu Legong, Baling.\nProgram yang bermula pada 13 Januari lalu bertujuan melaksanakan Service Learning Malaysia (SULAM), dan dikenali sebagai \u201cUniversity for Society\u201d. SULAM merupakan satu daripada agenda Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), iaitu elemen pembelajaran berimpak tinggi.\nPengarah projek itu, Danial Najmi Badrul Hisham, berkata bahawa semua pelajar dari pusat pengajian berkenaan dibawa tinggal bersama-sama keluarga angkat di kampung tersebut.\nBanyak aktiviti menarik dapat dilakukan oleh pelajar ketika berada di kampung itu selama dua hari satu malam, termasuklah melakukan aktiviti dalam sungai, gotong-royong, masakan BBQ dan lain-lain.\nProgram tersebut juga bertujuan melengkapkan tugasan bagi subjek Ghot 3043 Housekeeping, di samping memberikan peluang kepada pelajar mempraktikkan ilmu yang dipelajari sebelum masuk ke alam pekerjaan.\nPenduduk kampung turut diberi taklimat dalam aktiviti mengutip dan mengasingkan sampah yang dikelolakan oleh \u201cTrash Hero Sintok\u201d.\nMenurut beliau, penduduk tempatan begitu gembira kerana pelajar UUM jurusan ini dapat memberikan pandangan membina dalam membantu pengusaha rumah inap ke arah menaik taraf fasiliti dan cara susun atur dalam kaedah mengemas bilik rumah inap masing-masing.\nPenolong Pegawai Ehwal Ekonomi Keda Baling, Puan Rosimah Darus ketika merasmikan penutupan program itu berkata, usaha yang dilakukan melalui aktiviti sebegini boleh mengeratkan hubungan baik antara penduduk kampung dengan pelajar dari Universiti Utara Malaysia." "Seminar Protokol dan Etiket Anjuran INTURA\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani \u2013 Sebanyak 300 kakitangan kerajaan negeri Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang telah menyertai Seminar Intan Executive Lecture Series (IELS) Protokol dan Etiket: Pejabat Lawan Istana, di Dewan Jubli Perak, Institut Tadbiran Awam Negara (INTURA) Wilayah Utara, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah.\nPengurus seminar IELS ini, Encik Khairul Intan Daud berkata, melalui seminar seumpama ini peserta dapat mengetahui etika ketika menghadiri majlis makan malam anjuran pihak istana dengan pejabat kerajaan atau di tempat lain. Ceramah telah disampaikan oleh Penolong Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Tuan Sophian Abdul Rahman.\nSebagai kakitangan kerajaan di negeri Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang, mereka perlu mengetahui hal-hal ini, terutama berkaitan protokol pakaian dan etiket sosial. Hal ini juga boleh dijadikan panduan untuk kebaikan diri sendiri.\nMenurut beliau semasa ceramah yang berlangsung pada pukul 9.00 pagi hingga pukul 4.30 petang,\nSeminar berkaitan protokol dan etiket ini perlu dihayati sepenuhnya. Saya juga berpuas hati kerana peserta mengikuti ceramah dengan penuh khusyuk dan mengemukakan pelbagai soalan kepada penceramah.\u201c\n\u201cIni merupakan seminar pertama yang dianjurkan oleh pihak INTURA pada tahun ini dan akan diadakan lagi pada masa-masa lain.\nSophian Abdul Rahman (kiri) menyampaikan ceramah.\nPeserta wanita sedang mendengar ceramah.\nKakitangan lelaki juga turut mengikuti ceramah.\nKakitangan INTURA Wilayah Utara bergambar kenang-kenangan dengan Encik Sophian Abdul Rahman (enam kiri)." "SMK Kuala Perlis Meriahkan Program Semarak Bahasa Peringkat Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Perlis \u2013 Bertempat di Kampung Seberang Ramai, Program Semarak Bahasa Peringkat Kebangsaan diadakan bagi memberikan pendedahan tentang kepentingan bahasa dalam kalangan generasi muda hari ini.\nSebanyak 30 orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Perlis telah menyertai program tersebut bagi modul tiga, iaitu Ekspedisi Desa Bahasa. Melalui modul tersebut, mereka didedahkan dengan pelbagai elemen didik hibur yang dikawal selia oleh 45 orang fasilitator dan sukarelawan bagi menyelesaikan soalan yang telah disediakan.\nProfesor Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd. Fauzi, Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis mengatakan bahawa program ini bertujuan untuk menyemarakkan kembali bahasa yang dicintai ke tahap yang lebih tinggi.\n\u201cPelajar akan diberikan tugasan untuk meneroka sekitar Kampung Seberang Ramai bagi menyelesaikan tugasan yang diberi. Mereka perlu melalui setiap stesen bagi menyelesaikan setiap tugasan yang diberi, seperti teka peribahasa, betulkan ejaan yang salah dan teka silang kata.\u201d\nMenurut beliau, UiTM ditugaskan untuk menguruskan program ini sebagai pengantara antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan komuniti sekitar di Perlis untuk membolehkan komuniti menyegarbugarkan kembali bahasa. Selain itu, program ini juga mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak antaranya, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPN), Jabatan Mufti Negeri Perlis dan Persatuan Penulis Perlis (3P).\nMengulas lebih lanjut, program ini melibatkan pelajar prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan orang awam untuk memberikan pendedahan dan usaha memartabatkan bahasa Melayu semenjak dari kecil bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.\nPada akhir program ini, turut diadakan penyampaian hadiah kepada pemenang oleh Profesor Ts. Dr. Shukor Sanim." "Fenomena Warganegara Global\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKewarganegaraan global merupakan konsep yang semakin popular terutamanya dalam kalangan golongan milenium. Kewarganegaraan global memberikan seseorang itu suatu identiti yang melangkaui sempadan geografi dan politik dalam perspektif yang lebih meluas. Namun demikian, hal ini tidak bermakna mereka akan melupakan identiti bangsa dan kewarganegaraan asal mereka, tetapi kepuasan menjadi warganegara global memberikan satu pengalaman yang unik terutamanya bagi individu yang mencari suatu kelainan dan cabaran dalam kehidupan masing-masing.\nProses globalisasi telah bermula seawal tahun 1800-an dan kini semakin berkembang sehingga Globalisasi 4.0 telah dijadikan sebagai tema persidangan World Economic Forum 2019 di Davos Switzerland. Terdapat lima ciri utama globalisasi, iaitu integrasi dalam aspek ekonomi, liberalisasi, penswastaan, perdagangan bebas dan kesalinghubungan.\nPendekatan globalisasi dalam aspek ekonomi, liberalisasi dan perdagangan bebas merupakan konsep yang tidak asing lagi di Malaysia. Namun begitu, konsep kesalinghubungan terutamanya kebebasan pergerakan dari sesebuah negara ke negara yang lain merupakan konsep baharu yang semakin diterima dalam kalangan masyarakat moden Malaysia.\nKeputusan kerajaan membenarkan syarikat penerbangan tambang rendah beroperasi dengan menyediakan kemudahan lapangan terbang untuk syarikat-syarikat ini telah merubah gaya hidup rakyat Malaysia secara keseluruhan. Rakyat kini berpeluang untuk menikmati suatu pengalaman baharu dengan melancong ke negara luar dan menikmati satu budaya dan gaya hidup yang berbeza. Hal ini merupakan suatu pengalaman yang baik dan membantu mematangkan masyarakat Malaysia dalam menerima perubahan, ditambah pula dengan kekuatan media sosial dalam menyebarluaskan sesuatu maklumat dan isu melalui perkongsian tanpa had memberikan impak positif dalam mempopularkan sesuatu destinasi. Destinasi pelancongan seperti Cappadocia di Turkiye, Pulau Jeju di Korea Selatan, Desa Isetwald di Switzerland dan banyak lagi menjadi popular kerana kesan tular di media sosial.\nFenomena ini bukan hanya berlaku di Malaysia, malahan turut berlaku pada peringkat global. Negara yang mengamalkan dasar tertutup sebelum ini telah membuka sempadan mereka untuk membenarkan rakyat keluar negara dan bersedia menerima kehadiran warga negara asing dengan peraturan tertentu. Sebagai contoh, lebih kurang 160 juta orang rakyat China dan 26 juta orang rakyat India keluar melancong pada setiap tahun semasa tahun-tahun sebelum COVID-19. Hal ini disifatkan sebagai satu daripada segmen sasaran pelancong yang besar bagi Malaysia sekiranya dikaji dengan menyeluruh.\nSelain pelancong konvensional, terdapat golongan baharu yang dikenali sebagai nomad digital, iaitu satu kumpulan anak muda yang menetap dari sesebuah negara ke sebuah negara yang lain untuk tempoh yang singkat antara tiga hingga enam bulan. Menurut laporan, sebanyak 45 juta orang nomad digital berada di seluruh dunia. Golongan ini bekerja tanpa memerlukan pejabat yang tetap dan hanya bergantung pada teknologi dan Internet dengan penggunaan peralatan yang minimum seperti komputer riba, kamera, telefon pintar dan bekerja di tempat terbuka seperti kafe dan perpustakaan yang kini merupakan identiti golongan nomad digital. Pada kebiasaannya, mereka bekerja sebagai pengatur cara, pencipta kandungan, pereka bentuk dan pemberita bebas yang bekerja mengikut kesesuaian masa tanpa sekatan.\nGolongan nomad digital ini mempunyai pengikut mereka tersendiri dan ada antara mereka mempunyai pengikut sehingga 25 juta orang di media sosial. Bayangkan impak yang mereka hasilkan bagi setiap kandungan yang dikongsi dalam akaun media sosial mereka. Malaysia mempunyai kelebihan dari segi kepelbagaian budaya, makanan dan destinasi pelancongan yang menjadi tarikan kepada nomad digital. Kandungan yang berkaitan dengan keunikan makanan dan destinasi pelancongan sentiasa menjadi bahan berita yang popular dalam media sosial dan Malaysia seharusnya menggunakan peluang ini untuk menggalakkan semula aktiviti pelancongan. Kumpulan nomad digital ini perlu diberikan kemudahan untuk berada di negara ini agar Malaysia turut mendapat manfaat dari segi ekonomi.\nVisa khas untuk kumpulan digital nomad ini semakin popular dan dilaporkan lebih dari 50 buah negara telah mula menawarkan pelbagai pakej untuk mereka. Persaingan antara negara kian wujud dan pelbagai ranking dikeluarkan untuk menyenaraikan negara-negara terbaik sebagai pilihan utama antaranya negara paling selamat dan negara dengan kos sara hidup termurah untuk nomad digital. Antara lima buah negara yang menjadi pilihan golongan ini termasuklah Jerman, Australia, Sepanyol, Norway dan Portugal.\nTrend terkini dalam kalangan golongan muda membuktikan bahawa mobilisasi masyarakat telah menjadi suatu kebiasaan baharu pada peringkat global. Mobilisasi ini bukan hanya terhad pada aktiviti pelancongan, malahan penghijrahan golongan elit dan profesional ke negara lain juga menjadi satu trend dan diterima baik pada peringkat antarabangsa. Kebanyakan negara penerima menyediakan pelbagai kemudahan bagi membolehkan golongan ini kekal berada di negara penerima sehingga ada yang menawarkan kerakyatan kepada mereka.\nNegara maju terutamanya negara Eropah sedar akan potensi ekonomi yang boleh dimanfaatkan melalui trend ini dan telah melaksanakan pelbagai program dalam menarik minat golongan elit dan profesional ini untuk terus kekal di negara mereka.\nAntara program yang semakin popular untuk menarik golongan ini termasuklah program Golden Visa, iaitu satu program yang membenarkan pemegang visa tinggal bersama keluarga mereka dalam sesebuah negara tanpa sekatan untuk suatu tempoh yang ditetapkan. Mereka bebas untuk menjalankan perniagaan, pelaburan hartanah, pembelian aset, mendapat pendidikan bertaraf dunia untuk anak-anak, melancong di dalam dan luar negara serta bebas keluar masuk negara sehingga tempoh visa tamat. Di negara luar, Golden Visa ini juga dikenali sebagai satu daripada program untuk mendapat kerakyatan melalui pelaburan.\nFirma Henly & Partners, iaitu sebuah firma yang menyediakan perkhidmatan untuk memilih destinasi terbaik bagi golongan elit yang ingin berhijrah telah menyenaraikan lima buah negara terbaik untuk program Golden Visa ini. Negara pertama pilihan mereka ialah negara UAE dengan nilai pelaburan minimum sebanyak AED2 juta (RM2 juta), tempat kedua ialah negara Sepanyol dengan pelaburan minimum \u20ac500 000 (RM2.3 juta), Montenegro dengan pelaburan \u20ac450 000 (RM2.1 juta), Turkiye dengan pelaburan A.S.$250 000 (RM 1.1 juta) dan yang terakhir ialah Thai dengan pelaburan minimum 600 000 bath (RM75 000).\nAntara negara yang telah berjaya melaksanakan program ini secara sistematik ialah negara Portugal. Program ini telah mula diperkenalkan sejak tahun 2012 dan sehingga kini negara tersebut telah melaporkan beberapa kejayaan antaranya termasuklah 11 384 orang pemegang Golden Visa dan 18 617 ahli keluarga telah menyertai program ini. Portugal juga telah berjaya mengumpul pelaburan sebanyak \u20ac6.6 bilion (RM31 bilion) dengan 90 peratus daripada jumlah tersebut adalah melalui pelaburan hartanah.\nNegara UAE melaporkan telah mengeluarkan lebih 100 000 Golden Visa sejak diperkenalkan pada tahun 2019. Bagi meningkatkan keuntungan dalam sektor hartanah, syarikat hartanah juga diberi kebenaran sebagai orang tengah yang membantu pelanggan mereka dalam membuat permohonan mendapatkan Golden Visa. Selain itu, pengumuman kerajaan dalam menurunkan kelayakan gaji minimum juga telah mempertingkatkan permohonan.\nPemerhatian kepada keadaan semasa, jelas menunjukkan bahawa penghijrahan manusia merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Globalisasi dan penghijrahan sedang berlaku pada kadar yang pantas dan akan terus berlaku dari semasa ke semasa. Hal tersebut tidak dapat ditahan atau dielakkan. Negara yang telah bersedia dalam merancang pembangunan negara akan mendapat manfaat berlipat ganda terutamanya dalam aspek limpahan ekonomi. Negara yang masih berkira-kira dan tidak cakna kepada perubahan ini akan ketinggalan dan kerugian.\ntahun 2022 telah melabuhkan tirainya dan tahun 2023 merupakan suatu tahun yang dikatakan amat mencabar dari segi ekonomi, kestabilan politik, perubahan cuaca dan kecukupan bekalan makanan. Negara yang terkesan dengan COVID-19 telah mula bangkit dengan pelbagai inisiatif dan suntikan modal untuk menggerakkan semula ekonomi. Keputusan negara China untuk tidak lagi memantau kes COVID-19 di negara tersebut dan mula membuka pintu sempadan memberikan bayangan bahawa China bersedia mempertingkatkan semula aktiviti ekonomi mereka. Hal ini akan memberikan kebangkitan ekonomi kepada negara tersebut dan juga negara serantau. Dalam hal ini, Malaysia juga harus bersedia agar tidak ketinggalan terlibat sama demi kemakmuran dan kesejahteraan negara tercinta.\nPenulis, Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Jabatan Imigresen Malaysia" "Kunjungan Sembah Menghadap Hormat Perdana Menteri kepada Raja Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menerima sembah menghadap hormat oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim di Balai Menghadap Biru, Istana Arau tengah hari tadi. Turut berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.\nSepanjang kunjungan sembah menghadap yang berlangsung selama satu setengah jam itu, Tuanku Raja dan Tuanku Raja Muda Perlis berkenan untuk berbincang bersama-sama Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim berhubung dengan perancangan pembangunan negeri Perlis khususnya projek mega yang melibatkan Chuping Valley Industrial Area (CVIA), Pelabuhan Darat Perlis (PIP) di Padang Besar dan Jeti Sanglang, yang dipercayai mampu menjadi pemangkin bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan melonjakkan aspek sosioekonomi di negeri Perlis.\nMenurut kenyataan Istana Arau, Tuanku Syed Sirajuddin juga berharap sokongan dan komitmen yang tinggi daripada Kerajaan Persekutuan agar terus menyokong Kerajaan Negeri Perlis secara berterusan dalam segala aspek terutamanya dalam hal ehwal kebajikan rakyat dan pembangunan di negeri tersebut. Baginda bertitah dengan meletakkan keyakinan penuh bahawa, sebagai Perdana Menteri, Dato\u2019 Seri Anwar akan terus komited dalam usaha membantu meningkatkan kemajuan negeri Perlis." "Cabaran Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Secara dalam Talian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2212 Pandemik COVID-19 telah memberikan kesan langsung dalam kehidupan masyarakat sama ada\u00a0pada peringkat nasional mahupun\u00a0global. Banyak bidang yang terjejas dan ada yang perlu dilaksanakan dalam norma baharu termasuklah bidang pendidikan. Dari aspek pendidikan, penyampaian pengajaran secara bersemuka kepada pengajaran secara maya atau secara dalam talian, kelas digital dan pembelajaran secara jarak jauh (remote learning) telah dilaksanakan. Hal ini akan memberikan kesan kepada penguasaan dan pencapaian pelajar dalam pembelajaran bahasa Melayu serta mata pelajaran lain.\nPembelajaran secara dalam talian merupakan satu wahana pembelajaran secara maya melalui capaian internet untuk membentuk satu komunikasi antara guru dengan murid tanpa memerlukan pembelajaran secara bersemuka. Kelebihan pengajaran dan pembelajaran (PdP) Bahasa Melayu secara dalam talian memudahkan seseorang itu untuk mengakses kandungan pembelajaran yang lebih menarik, meluas dan interaktif.\nNamun begitu, terdapat cabaran dan halangan ketika PdP Bahasa Melayu secara dalam talian termasuklah masalah capaian kepada rangkaian internet, tiada kemudahan komputer atau telefon pintar, suasana pembelajaran yang tidak kondusif untuk belajar dan tahap keberkesanan pembelajaran yang kurang memuaskan.\n\nAda beberapa aspek yang perlu diberi perhatian oleh guru atau tenaga pengajar bagi meningkatkan tahap keberkesanan pembelajaran. Misalnya,\u00a0 aspek pertuturan seperti sebutan bunyi secara terasing, misalnya bunyi l, r, m, n dan konsonan bergabung, iaitu sy, ny dan ng; cara murid menyebut perkataan, terutamanya yang mengandungi banyak suku kata (penguatkuasaan), bunyi diftong (amboi, pulau, balai), vokal berganding, nada dan intonasi dalam perkataan kerana ciri utama pertuturan manusia ialah sifat nada suara yang sentiasa berubah-ubah yang mencerminkan maksud isi percakapan dan keadaan emosi seseorang ketika bertutur. Contohnya, \u201cNama saya Ali\u201d, \u201cPuan hendak ke mana?\u201d dan \u201cPergi!\u201d; serta perkataan yang berbeza maknanya seperti semak, sepak dan daki.\nDemikianlah antara penerangan yang diberikan oleh Puan Prema Ponnudurai (Ketua Jabatan Kesasteraan dan Kemanusiaan Sekolah Sains dan Kesasteraan, Universiti Taylor\u2019s), Dr. Sharala Subramaniam (pensyarah di Jabatan Kesasteraan dan Kemanusiaan Sekolah Sains dan Kesasteraan, Universiti Taylor\u2019s), Puan Fauzilayatun Mustafa (Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah, Dewan Bahasa dan Pustaka), Puan Zaidah Ahmad Rosly (Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka) serta Encik Abdul Razak Mohd Kassim, (pensyarah di Jabatan Kesasteraan dan Kemanusiaan Sekolah Sains dan Kesasteraan, Universiti Taylor\u2019s) selaku moderator ketika membicarakan topik yang menarik, iaitu \u201cPengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Secara dalam Talian: Cabaran dan Halangan\u201d yang dapat ditonton secara langsung melalui pautan https://bit.ly/3yn/dZoX pada pukul 10.00 pagi tadi." "Kongres Antarabangsa Pemerkasaan Bahasa dan Tamadun Alam Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan mengadakan Kongres Antarabangsa Pemerkasaan Bahasa dan Tamadun Alam Melayu yang bertemakan \u201cMemperkasa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu\u201d pada 28 September 2022 hingga 29 September 2022. Program selama dua hari secara bersemuka ini akan berlangsung pada pukul 9.00 pagi hingga pukul 5.00 petang di Bilik Senat dan Bilik Majlis Bangunan Canselori, UKM, Bangi.\nBagi yang berminat, yuran pendaftaran untuk peserta ialah sebanyak RM40.00 untuk seorang pelajar, RM100.00 untuk tiga orang pelajar dan RM80.00 untuk seorang dewasa. Bayaran boleh dibuat ke akaun CIMB 8002234307 atas nama Universiti Kebangsaan Malaysia. Yuran tersebut meliputi sarapan, makan tengah hari, minum petang dan bahan seminar selama dua hari (tidak termasuk penginapan). Walau bagaimanapun, para peserta bolehlah menginap di\u00a0hotel berdekatan dengan UKM seperti Bangi Resort Hotel dan Tenera Hotel.\nKongres ini merupakan platform perkongsian pintar tokoh-tokoh ilmuwan dalam bidang bahasa dan tamadun Alam Melayu kepada masyarakat, khususnya generasi muda. Selain itu, kongres ini juga diadakan untuk menyampaikan resolusi berkenaan strategi dan inisiatif yang dapat dilaksanakan dalam agenda pemerkasaan bahasa dan tamadun Alam Melayu.\nSementara itu, pada tahun 1970, UKM telah berjaya ditubuhkan sebagai universiti unggul yang berteraskan kewatanan yang memartabatkan bahasa Melayu serta mensejagatkan ilmu yang beracuan budaya kebangsaan, iltizam memperkasakan bahasa dan nilai ketamadunan Alam Melayu menerusi program ini yang sekali gus merealisasikan hasratnya sebagai pendahulu dalam memartabatkan bahasa Melayu dan tamadun Alam Melayu serta mengangkat nilai tamadun watan ke persada antarabangsa.\nSehubungan dengan itu, sebarang maklumat lanjut berkaitan dengan kongres ini boleh diperoleh dengan menghubungi pegawai yang bertugas, iaitu Encik Shafiq menerusi talian 013-3338257." "SSN Kedah ke Madrid\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBukit Mertajam\u00a0\u2013 Sebanyak 12 orang pemain umur 13 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum Tunku Abdul Rahman (SMKTATAR) Jitra, Kedah untuk menjalani latihan bola sepak selama tujuh hari\u00a0lima malam di Madrid, Sepanyol pada bulan Jun akan datang.\nSMKTATAR yang dikenali sebagai Sekolah Sukan Negeri Kedah (SSN Kedah) itu telah berjaya merangkul kejuaraan pada peringkat akhir setelah menewaskan pasukan Black Tiger (SSN Pulau Pinang) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Impian, Seberang Perai Selatan (SPS) dengan keputusan 3\u20130.\nAntara wakil pasukan SSN Kedah, termasuklah Azmeerul Hakim Azhar, Mohamad Lokhman Hakim Mansor, Muhammad Aisar Syakir Ghazali, Muhammad Alif Haikal Sya\u2019aban, Muhammad Hafiy Hadiff Hezri, Muhammad Irfan Adli Ismail, Muhammad Mus\u2019ab Mahubuddin, Muhammad Nafiz Mohd Nazuar, Muhamad A\u2019bid Iqhwan Khairul Samsul, Muhammad Syabil Iqbal Azhar, Adam Arieff Soffuan dan Syafiq Iqmal Samsuhaimi.\nSemua pemain mendapat medal masing-masing disampaikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim semalam.\nPertandingan anjuran TH Global Football Camp Road to Real Madrid, Sepanyol itu berlangsung di Stadium Permatang Rawa, Bandar Baru Perda, Bukit Mertajam turut disaksikan oleh Mantan Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.\nPenganjur pertandingan tersebut ialah\u00a0Dato\u2019 Indera Tunku Harunnarasheed Putra Dato\u2019 Seri Utama Tan Sri Dr. Tunku Annuar Badlishah.\nPengarah TH Global Football Camp, Datin Seri Noor Suzanna Abdullah berkata, pemain akan menjalani latihan klinik bola sepak dengan lebih intensif bersama dengan jurulatih Kelab Real Madrid, Sepanyol.\nUsaha mencari pasukan bola sepak yang hebat oleh TH Global Football Camp akhirnya tercapai.\nKetua jurulatih pasukan SSN Kedah, Mohamad Azizi Abdul Aziz berkata, bukan mudah untuk mencapai kemenangan kerana pasukan lain masuk bertanding peringkat akhir semuanya hebat setelah dibimbing oleh jurulatih masing-masing.\nMelalui usaha, disiplin dan komitmen yang jitu semasa sesi latihan, pemain dapat melaksanakan tugasan dengan sangat baik sekali.\n\u201cApabila dinobatkan sebagai juara TH Global Football Camp, hal ini menggembirakan banyak pihak, termasuklah pentadbir SSN Kedah dan waris kerana anak sendiri berpeluang menjejak kaki ke Madrid, Sepanyol dan mereka juga bakal menjadi pemain bola sepak terbaik di negeri Kedah dan Malaysia kelak." "Segera Baik Pulih Bangunan Sekolah Daif \u2013 YB Fadhlina Sidek\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJohor Bahru \u2013 Lawatan kerja YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan ke Johor Bahru diteruskan di Sekolah Kebangsaan (P) Bandar Tinggi yang usianya telah mencecah 100 tahun.\nMenurut YB Fadhlina Sidek, bangunan dua tingkat sekolah yang dibina daripada papan tersebut amat memerlukan perhatian yang serius dalam usaha menaik taraf dan memelihara bangunan sekolah.\nKementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 ribu untuk kerja pembaikan demi menjamin kemaslahatan dan keselamatan warga sekolah.\nSenarai sekolah daif akan diperincikan oleh KPM supaya kerja penyelenggaraan dapat dimasukkan dalam belanjawan yang akan dibentangkan pada bulan hadapan.\n\u201cSudah tentu sekolah daif ini menjadi keutamaan kementerian dan kita akan cuba memohon peruntukkan lebih tinggi.\nDemikianlah jelas YB Fadhlina Sidek semasa mengulas tentang terdapat sebanyak 300 sekolah daif yang telah dikenal pasti di seluruh negara, termasuklah di Sabah dan Sarawak. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 12 buah sekolah daif terletak di Johor.\nSelain itu, kementerian turut menumpukan isu kebajikan guru dan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dalam Belanjawan 2023.\nSebelum itu, lawatan diadakan di Sekolah Pendidikan Khas Cerebral Palsy Johor diiringi oleh YB Tunku Fatimah Faridah Tunku Tan Sri Osman, Pengerusi Persatuan Cerebral Palsy Johor.\n\nTurut hadir dalam lawatan kerja tersebut ialah YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusuf, Ketua Setiausaha KPM, YBhg. Dato\u2019 Pkharuddin Haji Ghazali, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Puan Hajah Salmah Jopri, Ketua Jabatan Bahagian Pendidikan Khas dan Encik Md Said Daimon, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Negeri Johor." "YBR Beri Bantuan Awal Pengajian Pendidikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nAlor Setar \u2013 Sempena Majlis Perasmian Serambi Ilmu Rakyat dan Bantuan Pelajaran Awal Pengajian 2023, Yayasan Bank Rakyat (YBR) mengadakan agihan sumbangan bernilai RM100 ribu kepada 100 pelajar kategori B40 di Perpustakaan Sultanah Bahiyah Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok.\nReplika cek bantuan itu disampaikan oleh Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani turut disaksikan oleh Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah.\nMenurut Syaiful Rizal, sumbangan YBR dilaksanakan untuk meringankan beban kewangan pelajar baharu pada peringkat diploma dan ijazah sarjana yang mula mendaftar untuk sesi pengajian di UUM.\nTambah beliau, inisiatif sebegini dapat memastikan pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan terutamanya dari luar bandar, pendalaman dan miskin turut tidak terlepas untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).\nPada tahun lepas, sebanyak 2916 pelajar telah menerima bantuan awal pengajian melibatkan peruntukan RM2.27 juta di 19 IPT negara ini.\n\u201cBantuan seumpama ini boleh memberikan pelbagai kebaikan kepada pelajar berkenaan.\nNaib Canselor UUM, Profesor Dr. Haim Hilman pula dalam ucapannya berkata, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) telah menyenaraikan pelajar B40 yang layak untuk menerima sumbangan sebanyak RM1000 seorang. Beliau berterima kasih kepada YBR kerana memilih pelajar UUM untuk menerima sumbangan itu.\nTurut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed, Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd. Mukhti Abd. Rahman dan Pengurus Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin." "Penjelasan KPM Mengenai Kes Kecurian Wang BAP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merujuk kepada laporan kecurian yang melibatkan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah lebih RM100 000 00. KPM memandang serius terhadap kejadian ini dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membantu siasatan kes yang sedang dijalankan.\nPada masa yang sama, KPM juga sedang menyemak insiden ini dari segi prosedur dan tatacara pengeluaran wang oleh pihak sekolah berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan. KPM melalui Surat Pindaan ke Atas Surat Pekeliling Kewangan Bilangan 20 Tahun 2020: Bantuan Awal Persekolahan, bertarikh 29 Disember 2022 telah memberikan peringatan kepada semua pengurus sekolah berkaitan dengan aspek pematuhan kepada Tatacara Pengurusan Kewangan dan Perakaunan Sekolah yang sedang berkuat kuasa.\nGaris Panduan BAP ini juga telah menetapkan tatacara pengeluaran wang tunai dari bank oleh pihak sekolah untuk jumlah melebihi RM10 000 dan mestilah berada dalam keadaan selamat dengan perkhidmatan polis pengiring. KPM turut menjelaskan bahawa kementerian tersebut tidak akan sesekali berkompromi dalam hal-hal yang melibatkan pengurusan sekolah khususnya dalam perkara yang melibatkan prosedur dan tatacara kewangan. KPM turut mengingatkan bahawa tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati cuai atau tidak akur kepada arahan yang telah ditetapkan." "KPDN Tangani Kos Sara Hidup Rakyat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kesan daripada inflasi pada ketika ini bukanlah bersifat setempat, namun turut menjejaskan ekonomi hampir setiap negara di dunia secara keseluruhannya. Hal ini bermaksud, isu inflasi merupakan isu global dan negara Malaysia tidak terlepas daripada merasai tempiasnya.\nOleh sebab itu, perancangan jangka pendek dan jangka panjang perlu diambil perhatian oleh kerajaan, khususnya\u00a0Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan kesan inflasi tidak terus memudaratkan rakyat dan negara.\nMenyentuh perihal inflasi, sudah pasti hal ini tidak terlepas daripada isu peningkatan kos sara hidup, sebagaimana yang berlaku di Malaysia pada hari ini. Dalam temu bual eksklusif anjuran RTM bersama dengan YB Senator Hajah Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pagi ini menyentuh tentang perihal strategi kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup yang membelenggu rakyat pada masa ini.\nYB Senator Hajah Fuziah Salleh menyatakan rakyat kini meletakkan harapan yang tinggi kepada KPDN.\nTugas ini merupakan amanah yang besar dan menjadi satu harapan tinggi buat semua rakyat. Kerana pada pertama kalinya, kerajaan meletakan nama satu-satu kementerian itu terlibat dengan kos sara hidup.\nBeliau melanjutkan bicaranya dengan menyatakan langkah awal yang diambil oleh kerajaan bagi menangani kos sara hidup adalah mengenal pasti elemen kos sara hidup. Bagi beliau pengenalpastian elemen tersebut merupakan satu perkara yang amat penting.\nKita akui ramai yang terkesan dengan keadaan inflasi, ramai terkesan dengan kos sara hidup yang meningkat. Malah, bukan sahaja rakyat Malaysia yang terkesan, tetapi merupakan fenomena global. Kita lihat gaji tidak berubah, pandemik meninggalkan kesan yang amat besar apabila ramai yang hilang pekerjaan dan jatuh miskin. Maka itu, tepat sekalilah kos sara hidup menjadi satu agenda besar negara. Antara perkara dilakukan, kita melihat kos sara hidup daripada multidimensi.\n\u201cJika sebelum ini kita mengukur kemampuan satu-satu keluarga itu mengikut pendapatan dan paras garis kemiskinan, namun kini kita melihat daripada multidimensi. Kita melihat kemampuan bukan setakat makan minum, tetapi kemampuan untuk memastikan bahawa seseorang boleh hidup bermaruah, ada perumahan yang selamat dan selesa, ada pendidikan yang baik untuk anak-anak, mampu membayar bil utiliti, dan mampu mendapat khidmat kesihatan yang baik. Kita juga meneruskan subsidi sedia ada, namun lebih mencari jalan dan mekanisme supaya lebih bersasar dan tidak ada ketirisan\u201d, jelas beliau lagi.\nMenurut beliau, terdapat enam elemen kos sara hidup yang menjadi tumpuan kerajaan. Antaranya termasuklah kos makan minum, perumahan, utiliti, pengangkutan, pendidikan dan kesihatan. Dalam hal ini, kerajaan komited memastikan bahawa tidak ada pemegang taruh yang ketinggalan, yakni memberikan jaminan akan kepentingan kepada semua pihak.\nSementara itu, beliau turut mengupas tentang isu kenaikan harga ayam yang berkait rapat dengan faktor global. Subsidi berjumlah lebih 87.6 bilion yang disediakan oleh kerajaan merujuk barang keperluan asas untuk memastikan harga tersebut berada dalam kawalan. Walaupun harga sumber pasaran turun naik, namun kerajaan berusaha untuk memastikan rakyat tidak terkesan dengan teruk.\nSelain itu, isu ketirisan yang berlaku dalam pengagihan minyak paket bersubsidi turut disentuh oleh beliau. \u201cSebagai contoh, pengguna kata tidak cukup minyak masak bersubsidi paket 1 kg, kita nak lihat. Sedangkan, kita hasilkan dalam 60 juta paket 1 kg sebulan. Kita mempunyai seramai 32 juta rakyat Malaysia, bermaksud seorang rakyat Malaysia akan memperoleh 2 kg sebulan. Jadi, kalau kata tidak cukup minyak, itu tidak benar. Malah, kita subsidikan lagi minyak masak paket 1 kg tersebut. Walau bagaimanapun, kita sedang mencari jalan mekanisme paling berkesan supaya tidak berlakunya ketirisan.\u201d" "Dr. Hazami Jahari Dilantik sebagai Ketua Pengarah DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek mengumumkan pelantikan YBhg. Dr. Hazami Jahari sebagai Ketua Pengarah (KP) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang baharu berkuat kuasa pada hari ini.\nPenyerahan surat pelantikan kepada YBhg. Dr. Hazami Jahari dilakukan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, YBhg. Dato\u2019 Haji Pkharuddin Haji Ghazali, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan Encik Ramzi Mansor, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPM pada petang ini. Pelantikan YBhg. Dr. Hazami Jahari sebagai KP DBP ke-13 adalah bagi menggantikan tempat YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran yang menamatkan kontrak perkhidmatannya pada 28 November 2022.\nYBhg. Dr. Hazami Jahari, 55 tahun, yang memegang Ijazah Doktor Falsafah Kesusasteraan dari Universiti Sains Malaysia mula berkhidmat di DBP pada tahun 1992 dan mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang bahasa dan sastera. Selain itu, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Sastera (Penulisan Kreatif dan Deskriptif) dan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Penulisan Kreatif dan Deskriptif) dari Universiti Malaya.\nBeliau seorang yang aktif dalam melaksanakan pelbagai program berkaitan dengan pembinaan, pengembangan dan penerbitan dalam bahasa Melayu sebagai usaha untuk mengangkat dan memartabatkan bahasa kebangsaan.\nSebelum menjawat portfolio sebagai Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan pada tahun 2021, beliau pernah menyandang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera (2019), Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera (2018) dan menerajui DBP Cawangan Sarawak (2014\u20132016).\nJika disoroti kejayaan dan pencapaian sepanjang berkhidmat di DBP, beliau telah menerima banyak anugerah, antaranya termasuklah Anugerah Perkhidmatan 25 tahun (2018), Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2012), Anugerah Perkhidmatan 20 tahun (2012), Anugerah Perkhidmatan 15 tahun (2007), Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (1998) dan Pingat Perkhidmatan Bakti (Perak) (2015).\nDengan pelantikan ini, DBP meletakkan sepenuh keyakinan atas kepimpinan YBhg. Dr. Hazami Jahari dalam usaha memacu dan memperkasakan hala tuju DBP seiring dengan imejnya sebagai badan yang berautoriti yang memartabatkan bahasa Melayu selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, iaitu bahasa rasmi negara.\nSejajar dengan kredibilitinya sebagai Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP percaya beliau berupaya untuk meneruskan kecemerlangan DBP dengan pelbagai program yang dirancang menerusi Pelan Strategik DBP 2021\u20132025 yang memberikan tumpuan kepada tiga teras strategik, iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ekonomi, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Negara, dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu." "DYTM Raja Muda Perlis Menerima Sembah Mengadap Perpisahan Panglima Briged ke-30 Infantri Tentera Darat Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRaja Muda Perlis Brigedier, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menerima sembah mengadap perpisahan oleh Panglima Briged ke-30 Infantri Tentera Darat Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Zaki Abu yang diadakan di Wang Kelian.\nMohd Zaki menyembah maklum kepada baginda yang beliau bertukar ke Markas Tentera Darat, Jabatan Arah Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) untuk mengambil alih jawatan sebagai Ketua Pengarah.\nTampuk pemerintahan Briged ke-30 Infantri yang berpangkalan di Kem Bukit Cowder Mata Ayer Perlis yang memegang slogan \u201cTeguh Perisai\u201d itu diserahkan melalui Majlis Serah Terima Tugas kepada Panglima yang baharu, iaitu Brigedier Jeneral Yazid Yusuf pada 16 Januari 2023.\nDalam majlis mengadap tersebut juga, Mohd Zaki melahirkan rasa bangga dan bertuah kerana dapat berkhidmat di negeri ini dan turut menyembah ucapan menjunjung setinggi kasih kepada DYTM Tuanku Raja Muda atas segala sokongan dan perkenan yang diberikan oleh baginda sepanjang perkhidmatan beliau di negeri Perlis.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Pasukan Simpanan Tentera Darat turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Zaki yang telah berkhidmat di negeri Perlis sejak 11 November 2020 dan berharap beliau akan terus mencurahkan bakti kepada agama, bangsa dan negara serta bertitah selamat maju jaya di tempat perkhidmatan yang baharu kelak." "Melindungi Harta Intelek Agenda Utama DBP dan MyIPO\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bahagian Harta Intelek, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan kunjungan hormat ke Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di pejabatnya, di Bangsar, pagi ini.\nDalam pertemuan tersebut yang diwakili oleh Ketua Bahagian Harta Intelek, DBP, Encik Shah Rizal Azwan Ghazali, dan Pengarah Bahagian Harta Intelek, MyIPO, Encik Kuljit Singh Ojagar Singh, kedua-duanya banyak berkongsi pandangan berhubung dengan fungsi yang dimainkan oleh kedua-dua badan tersebut.\nMenurut Encik Kuljit Singh, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelbagai agensi untuk memberikan kesedaran dan kefahaman tentang kepentingan melindungi harta intelek daripada sebarang unsur plagiat, ciplak dan sebagainya.\nDalam sesi pengenalan, beliau turut menjelaskan fungsi\u00a0 badan itu yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran dan pembangunan sistem harta intelek serta bertindak sebagai agensi kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Katanya, \u201cMyIPO memberikan perkhidmatannya ke seluruh Malaysia.\u201d\nJelasnya lagi, MyIPO mentadbir dan menguatkuasakan Perundangan Harta Intelek yang terdiri daripada Akta Cap Dagangan 2019; Akta Paten 1983; Akta Hak Cipta 1987; Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996; \u00a0Akta Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu 2000; dan Akta Petunjuk Geografi 2000 dan Peraturan-peraturan di bawahnya.\nKatanya, MyIPO merupakan agensi tunggal yang menyediakan perkhidmatan pendaftaran harta intelek di Malaysia. MyIPO turut mengadakan program kesedaran mengenai kepentingan perlindungan harta intelek dan menyediakan latihan harta intelek yang dikendalikan oleh Akademi Harta Intelek.\n\u201cKesedaran untuk mendapatkan Sijil Harta Intelek melalui permohonan sangat dialu-alukan bagi melindungi harta intelek daripada dikenakan tindakan undang-undang. Sebanyak 181 buah negara melindungi harta intelek mereka menerusi piagam undang-undang yang sama dengan negara ini,\u201c kata Encik Kuljit Singh.\nBeliau mengambil contoh, negara-negara maju seperti Korea, Jepun dan Amerika Syarikat sangat melindungi harta intelek daripada sebarang pelanggaran hak cipta.\nSementara itu, Encik Shah Rizal Azwan Ghazali turut membangkitkan isu yang berkaitan dengan \u201cizin terbit\u201d yang melibatkan karya penerbitan, penggunaan logo cap dagang dalam artikel, dan penggunaan petikan yang diambil daripada buku penulis tertentu. Sementara itu, bagi menyelaraskan penggunaan dan pembentukan istilah yang betul yang berkaitan dengan terma harta Intelek, Encik Shah Rizal berkata, DBP bersedia menerima saranan dan cadangan daripada MyIPO.\nDalam pertemuan tersebut, turut disentuh penyertaan Malaysia sebagai anggota Triti Marrakesh yang akan menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi negara dengan memberikan pengecualian daripada mendapatkan kebenaran pemunya hak cipta untuk membuat dan mengedarkan bahan bacaan dalam format boleh akses bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan.\nKunjungan yang penuh bermakna ini dijangka akan terus memperteguh hubungan yang erat antara DBP dengan MyIPO untuk terus bekerjasama dalam isu yang melibatkan harta intelek pada masa akan datang." "Malaysia Madani, Amanat Khas YAB Perdana Menteri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim pada hari ini menyampaikan ucapan dalam wacana Membangun Malaysia Madani bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada pukul 11.30 pagi. Turut hadir dalam majlis ini ialah Menteri Kabinet, Timbalan Menteri dan Menteri daripada setiap kementerian berserta sebahagian besar penjawat awam.\nWacana ini bertujuan untuk mendengar amanat khas daripada Perdana Menteri ke arah membangun Malaysia Madani yang menjadi satu tonggak dan kerangka penting untuk membawa hala tuju negara. MADANI adalah singkatan kepada kemampuan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.\nMemulai ucapan, Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada para hadirin kerana hadir memberikan semangat dan dorongan untuk terus meningkatkan usaha dan kerja yang dijalankan. Menurut beliau, amanat ini bukanlah suatu wawasan baharu, namun lebih menumpukan hasrat untuk mengajak semua pimpinan dan rakyat menyedari akan amanah yang dipikul.\nRakyat Malaysia perlu sedar bahawa ada nilai murni yang perlu dikembangkan dan dihidupkan semula. Dalam usaha memacu pertumbuhan bidang ekonomi, teknologi dan digital, nilai dan kemanusiaan tidak boleh ditinggalkan kerana tindakan tersebut menjadikan kita mula mengalah dan mudah berkompromi dengan penyelewengan dan penindasan. Kita perlu sedar bahawa ada nilai murni yang perlu dikembangkan dan dihidupkan semula.\nMenurut Dato\u2019 Seri Anwar, Madani ini adalah sekadar menginsafi bahawa tanggungjawab untuk mengangkat martabat insan sebagai karamah insaniah yang berpaksi kepada keyakinan, nilai dan akhlak, serta tata kelola yang adil dan berkesan dalam sejarah. Masyarakat Madani, ditekankan pemerkasaan ekonomi dan budaya, tetapi terasnya adalah nilai, etika dan akhlak, serta keyakinan dan kemanusiaan.\nBeliau menegaskan dalam memacu negara untuk terus maju, kita tidak dapat lari daripada salah laku dan rasuah yang boleh menyebabkan runtuhnya nilai kemanusiaan, namun kesedaran bersama perlu ada bagi menghidupkan semula kekuatan leluhur bangsa daripada semua kaum dan agama dalam negara.\nDalam membincangkan soal pertumbuhan pascapandemik COVID-19, beliau menegaskan semua pimpinan di persekutuan, negeri, daerah dan penjawat awam dari peringkat tertinggi hingga rendah untuk belajar dari pengalaman dan bertindak sesuai dengan tuntutan baharu.\nBeliau menyebut beberapa isu yang berkait rapat dengan belia dan wanita untuk menunjukkan bahawa kaedah dan cara lama yang diguna pakai tidak dapat menyelesaikan masalah negara. Oleh itu, beliau mencadangkan untuk menamatkan satu daripada ukuran kemajuan, iaitu melalui pertumbuhan ekonomi semata-mata kerana hal ini merupakan satu keghairahan untuk menunjukkan angka pelaburan asing tanpa menekankan kesan dan akibat kepada manusia seluruhnya.\nAsas ekonomi manusiawi yang perlu difahami dalam konteks Madani sekarang adalah falsafah pembangunan yang holistik dan menyeluruh berpandukan keprihatinan etika dan sosial berasaskan prinsip keadilan dan kebajikan. Mengurus ekonomi, manusiawi perlu mengambil kira faktor dimensi manusiawi dan dimensi insan.\n\u201cKemanusiaan insan tidak dapat dicapai jika rakyat memilih untuk mencemuh sesama manusia kerana madani menuntut manusia untuk mempunyai nilai dan etika dan memuliakan, serta mengangkat martabat insan sepertimana yang disebut dalam al-Quran.\nBagi mendepani 2023, Perdana Menteri ke-10 ini percaya bahawa tema ini dapat kekal relevan dan diwacanakan sebagai satu iltizam dan pendekatan untuk menyelamatkan negara. Tambah beliau, \u201cSemua kelemahan dahulu mesti dihentikan supaya kemelut ekonomi yang mendatang dapat diatasi dengan jauh lebih baik. Pengurusan yang baik dan cekap mampu menyelamatkan berbilion-bilion dana negara tanpa perlu mewujudkan projek atau inisiatif baharu. Ternyata, inilah cabaran yang perlu dihadapi oleh pemimpin dan rakyat Malaysia.\u201d" "Menteri Pendidikan Lantik Sembilan MPPK bagi Sesi 2023\u20132025\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek mengumumkan sembilan orang tokoh dan individu yang mempunyai kepakaran dan kepelbagaian latar belakang dalam bidang masing-masing bagi menganggotai Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) Sesi 2023\u20132025.\nKementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataannya mengatakan bahawa keanggotaan majlis ini bertujuan untuk mendapatkan pandangan profesional daripada tokoh atau individu yang mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran dalam perkara yang berkaitan dengan pendidikan.\nYB Fadhlina Sidek berkata,\nIsu bebanan tugas guru merupakan antara perkara yang akan menjadi tumpuan utama MPPK untuk diperhalusi sebelum cadangan penyelesaian terbaik bagi menangani isu tersebut dikemukakan kepada saya untuk dipertimbangkan.\nMPPK 2023\u20132025 ini akan dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Dr. Amin Senin, mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia. Pengalaman luas beliau dalam bidang pendidikan dengan gabungan mantap lapan orang ahli MPPK lain diyakini dapat memikul amanah dalam usaha untuk membantu KPM mengemudi sektor pendidikan negara dengan mengemukakan idea bernas yang membuka laluan ke arah pembaharuan, kesepaduan dan pendemokrasian pendidikan.\nMengulas lanjut mengenai MPPK ketika sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 tadi, YB Menteri Pendidikan menjelaskan MPPK mulai ditubuhkan oleh YB Menteri Pendidikan pada November 2010 seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 10, Akta Pendidikan 1996 [Akta 550].\nUlas beliau lagi, MPPK berperanan untuk menasihati menteri berhubung dengan apa-apa isu pendidikan yang dirujuk oleh menteri kepada MPPK dengan mengemukakan syor berkaitan perkara yang dirujukkan itu untuk pertimbangan oleh YB Menteri.\nTurut hadir bersama-sama YB Menteri Pendidikan ialah Timbalan Menteri Pendidikan, YB Lim Hui Ying, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato\u2019 Haji Pkharuddin Haji Ghazali, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPM, Encik Ramzi Mansor dan mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Amin Senin." "\u201cTerbitkan Hasil Kajian Bahasa dan Linguistik\u201d\u2013 Profesor Dr. Nor Hashimah Jalaluddin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2013 Seminar Linguistik Kebangsaan (SLiK) 2022 melabuhkan tirainya setelah dua hari berlangsung di Pusat Penyelidikan Langkawi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kampus Tuanku Abdul Halim Mua\u2019dzam Shah, Langkawi, Kedah. SLiK 2022 yang diadakan sekali dalam tempoh dua tahun merupakan program anjuran bersama Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), UKM dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Penyelidikan Bahasa.\nPengerusi PLM, Profesor Dr. Nor Hashimah Jalaluddin dalam ucapannya bersempena dengan majlis penutupan SLiK 2022 menggesa para sarjana yang membentangkan kajian masing-masing untuk menerbitkan hasil kajian tersebut menerusi jurnal.\nKertas kerja yang dibentangkan menunjukkan banyak dapatan baharu dengan hasil kajian yang menarik. Sudah pasti hasil kajian yang dibentangkan ada kekurangan namun boleh dibaiki berdasarkan komen pakar bahasa dan linguistik yang mendengar pembentangan kajian tersebut.\nTambah Profesor Dr. Nor Hashimah, \u201cBoleh juga terbitkan hasil kajian dalam Jurnal Persatuan Linguistik Malaysia yang kini diiktiraf oleh MyCite dan berstatus Q2. Oleh itu, penerbitan dalam jurnal akan memberikan nilai tambah pada kajian dan juga memberikan merit kepada sarjana itu sendiri.\u201d\nProfesor Dr. Nor Hashimah yang juga profesor tamu di Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM, turut menjelaskan bahawa penerbitan berbentuk bab dalam buku tidak memberikan merit kepada pensyarah dalam hal kenaikan pangkat dan tidak diambil kira dalam penilaian prestasi. Pelajar peringkat doktor falsafah juga dikehendaki menerbitkan sekurang-kurangnya dua hasil kajian dalam jurnal. Maka itu, seminar seperti SLiK ini memberikan peluang yang besar kepada pengkaji dan sarjana bahasa untuk menambah baik hasil kajian dan seterusnya mengusahakan penerbitan kertas kerja tersebut dalam jurnal, terutamanya Jurnal Persatuan Linguistik.\nDengan mengangkat tema \u201cBahasa Melayu dalam Era Norma Baharu\u201d, SLiK 2022 memperlihatkan sebanyak 60 kertas kerja telah dibentangkan oleh para pengaji bahasa dan sarjana linguistik. SLiK 2022 juga menampilkan dua ucap utama yang disampaikan oleh Profesor Dr. Rogayah A Razak pada hari pertama seminar dengan tajuk \u201cPenyelidikan tentang Perkembangan Bahasa Kanak-kanak Tipikal dan Tak Tipikal di Malaysia: Isu dan Keperluan\u201d. Ucap utama pada hari kedua seminar pula disampaikan oleh Profesor Dr. Nor Hashimah Jalaluddin dengan tajuk \u201cBahasa, Persekitaran dan Budaya: Elemen Tiga Serangkai Ekolinguistik\u201d.\nSebelum berlangsungnya majlis penutupan SLiK 2022, tiga kertas kerja telah dibentangkan dalam Sidang Pleno. Pembentangan pertama disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Fazal Mohamed Mohamed Sultan yang membicarakan tajuk \u201cLiterasi Bahasa Melayu Kanak-kanak Negrito dan Senoi\u201c. Seterusnya, Profesor Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz membentangkan tajuk \u201cPemanjangan Vokal Dialek Kelantan Berdasarkan Teori Optimaliti\u201d, manakala pembentangan ketiga yang bertajuk \u201cPenyebaran Leksikal \u2018Saya\u2019 dan \u2018Kamu\u2019 di Daerah Cameron Highland: Analisis Geolinguistik\u201d dibicarakan oleh Dr. Siti Noraini Hamzah.\nYang menariknya, SLiK edisi pada kali ini berjaya menarik penyertaan bukan sahaja daripada sarjana UKM, malah turut disertai oleh sarjana bahasa dan linguistik dari Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA dan Universiti Putra Malaysia, termasuklah pembentangan oleh pegawai dari DBP.\nSambutan yang positif itu juga memperlihatkan penyertaan peserta dan pemakalah daripada golongan muda. Hal ini cukup meyakinkan pihak penganjur bahawa SLiK mampu memberikan impak yang baik kepada perkembangan bahasa Melayu, malah dapat memajukan bidang linguistik yang kajiannya pada masa ini sudah merentas bidang dan zaman.\nMajlis penutupan SLiK 2022 turut dihadiri oleh Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa, DBP, Dr. Azizul Ismail dan Pengarah Bersama SLiK 2022, Dr. Mardian Shah Omar. Majlis perasmian SLiK 2022 pada 21 September 2022 telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP, Dr. Hazami Jahari, yang juga selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pelaksana SLiK 2022." "KPM Komited Mendepani Cabaran Pendidikan Masa Hadapan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Pada 19 Januari 2023, bertempat di Auditorium Kompleks E, Putrajaya, Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek telah menyampaikan amanat tahun baharu 2023 kepada warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Memandangkan ini merupakan tahun pertama beliau memegang tampuk kepimpinan di KPM, sudah tentu banyak idea yang ingin dilaksanakan untuk menjadikan sistem pendidikan negara lebih berkualiti.\nPada awal majlis, YB Fadhlina terlebih dahulu merakamkan ucapan terima kasih kepada warga KPM atas komitmen yang diberikan secara berterusan demi menyampaikan agenda pendidikan kepada anak bangsa. Agenda pendidikan tersebut perlu dirangkul bersama kerana warga KPM merupakan pemegang taruh utama dalam pendidikan negara. Bagi memastikan agenda pendidikan negara dapat dilaksanakan dengan berkesan, aspek kerja secara berpasukan harus dititikberatkan dalam kalangan warga kerja KPM.\nBeliau pada majlis tadi turut mengulas tentang amanat yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim tentang konsep Madani yang diumumkan pada pagi tadi. Menurut YB Fadhlina, setiap maksud yang diterapkan dalam konsep Madani tersebut merangkumi setiap aspek dalam sektor pendidikan, terutamanya tujuh hala tuju yang menjadi agenda utama KPM.\nMenurut beliau, masyarakat pada hari ini semakin menyedari bahawa keperluan pendidikan yang baik dan berkualiti sangat berkait rapat dalam menentukan kualiti masa hadapan generasi anak bangsa. Oleh itu, untuk melangkah ke tahun 2023, keprihatinan masyarakat dan senario semasa telah menjadikan dunia pendidikan ini menjadi sangat mencabar dan kompetitif.\n\nSaya ingin menyeru agar kita semua kembali kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai asas pengukuhan sistem pendidikan negara. Hal tersebut selari dengan aspirasi KPM dan elemen karamah insaniah yang menitikberatkan pembangunan dan pembentukan murid yang berakhlak, beradab dan berintegriti.\nTambahnya lagi, semua warga KPM akan lebih bersiap siaga dan sentiasa dinamik dalam melaksanakan gerak kerja dan sentiasa berpegang teguh terhadap tujuh teras hala tuju KPM agar dapat memastikan kementerian ini kekal relevan.\nSebagai inti pati yang ingin disampaikan dalam amanat pada petang tadi, beliau menekankan tiga segmen utama, iaitu mendepani cabaran tahun 2023 bagi memastikan\u00a0 pendidikan negara menjadi pendidikan yang terbaik, melihat fokus strategi dalam memacu hala tuju KPM dan merangka tujahan ke hadapan yang memerlukan setiap warga KPM bersiap sedia bagi menjayakan agenda pendidikan negara.\nBeliau turut menekankan tentang empat cabaran utama yang dikenal pasti dalam dimensi pendidikan yang harus diambil berat, iaitu kesaksamaan pendidikan, kebajikan guru, pengajaran dan pembelajaran dan murid berkeperluan pendidikan khas. Cabaran yang terdapat dalam kesaksamaan pendidikan adalah untuk memastikan kesaksamaan pendidikan sebagai teras perkhidmatan dan kesaksamaan pengurusan pendidikan terhadap semua peringkat dapat direalisasikan. Hal ini penting bagi memastikan semua murid tanpa mengira lokaliti dan latar belakang akan mendapat peluang pembelajaran yang sama seperti murid lain.\nSeterusnya, cabaran turut dihadapi dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, iaitu meningkatkan capaian pendigitalan pendidikan sebagai usaha menguruskan kemiskinan multidimensi dan membantu pelajar dalam kalangan B40. Hal tersebut penting bagi memastikan pelajar kembali ke sekolah dan keluar daripada kemelut keciciran.\nKetika menerangkan tentang cabaran yang dihadapi dalam pendidikan negara, YB Fadhlina Sidek turut meletakkan murid berkeperluan pendidikan khas sebagai keutamaan beliau. Hal ini bagi memastikan hak untuk mendapatkan pendidikan wajib difahami, termasuk bagi murid berkeperluan khas yang terdiri daripada enam kategori, iaitu ketidakupayaan pendengaran, ketidakupayaan penglihatan, ketidakupayaan pertuturan, ketidakupayaan fizikal, masalah pembelajaran dan ketidakupayaan pelbagai.\nPada majlis yang sama, turut diadakan sesi pengenalan dan penyampaian watikah pelantikan anggota Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) bagi sesi 2023 \u2013 2025. YB Fadhlina Sidek telah bersetuju untuk melantik sembilan orang tokoh dan individu yang mempunyai kepakaran dan latar belakang yang pelbagai dalam bidang masing-masing. Isu bebanan tugas guru merupakan antara isu yang akan menjadi tumpuan utama MPPK.\nTurut hadir dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 YB Menteri Pendidikan pada petang tadi ialah, Timbalan Menteri Pendidikan, YB Lim Hui Ying; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato\u2019 Haji Pkharuddin Haji Ghazali; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBrs Encik Ramzi Mansor; dif-dif kehormat dan warga kerja KPM." "Lebih 400 Calon Bakal Menduduki Peperiksaan SPM 2022 pada 20 Februari Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya\u00a0\u2013\u00a0Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2022 akan dilaksanakan bermula dari 20 Februari hingga 15 Mac 2023.\nBerdasarkan jadual SPM 2022, Lembaga Peperiksaan menetapkan peperiksaan amali sains akan bermula pada 30 Januari ini, manakala ujian bertutur bahasa Melayu pada 7 dan 9 Februari;\u00a0ujian bertutur bahasa Inggeris pada 13 hingga 15 Februari; dan ujian mendengar pula pada 16 Februari.\nMenurut KPM, sebanyak 403 637 calon akan menduduki peperiksaan di 3355 pusat peperiksaan di seluruh negara. Bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan ini, KPM turut melantik sebanyak 131 318 petugas peperiksaan.\nOleh itu, semua calon diingatkan agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat berkaitan dengan tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan tersebut berlangsung. Calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.\nJadual waktu peperiksaan SPM 2022 boleh dimuat turun dari laman rasmi Lembaga Peperiksaan." "Penjelasan KPM Mengenai Perbezaan Jumlah Bantuan Awal Persekolahan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Berhubung dengan penularan satu video mengenai Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dalam aplikasi TikTok, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama pihak yang terlibat akan membuat siasatan lanjut.\nDalam kenyataan KPM pada hari ini, video tersebut adalah berhubung dengan seorang ibu kepada tiga orang anak yang belajar di sekolah yang sama, tetapi telah menerima jumlah bayaran BAP yang berbeza-beza.\n\u201cTindakan yang tegas akan dilaksanakan sekiranya wujud kebenaran seperti yang didakwa,\u201d tegas KPM mengulas tentang penularan video yang mengelirukan orang umum.\nSehubungan dengan itu, KPM ingin memohon kerjasama daripada semua murid, ibu bapa atau penjaga untuk membuat aduan secara rasmi melalui laman rasmi SISPAA KPM atau hubungi di talian 03-8884 6456.\nKPM turut mengatakan bahawa setiap aduan dan butiran pengadu akan dirahsiakan oleh pihak pengurusan demi menjaga kebajikan dan keselamatan masing-masing." "Dunia Semakin Tua\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMenjelang tahun 2050, World Economic Forum menjangkakan bahawa bumi akan dihuni oleh 10 bilion orang berbanding dengan 7.7 bilion\u00a0 orang pada hari ini. Sebagai akibatnya, bilangan warga emas bagi setiap 100 orang akan meningkat hampir tiga kali ganda, iaitu daripada 20 orang pada tahun 1980, kepada 58 orang pada tahun 2050.\nHal ini turut\u00a0 bermaksud populasi tua akan meningkat di semua negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD). Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan yang jelas dalam kadar penuaan. Sebagai contoh, Jepun memegang gelaran sebagai negara yang mempunyai penduduk tertua, dengan \u2153 daripada warganya sudah berumur lebih daripada 65 tahun. Menjelang tahun 2030, tenaga kerja negara itu dijangka berkurangan sebanyak 8 juta orang mengakibatkan potensi kekurangan tenaga kerja yang besar akan melanda negara tersebut. \nBerbeza daripada Korea Selatan yang pada masa ini mempunyai penduduk yang lebih muda daripada purata rakyatnya. Hal ini bakal menyaksikan nisbah tua kepada muda negara itu adalah yang tertinggi dalam kalangan negara maju.\nPada peringkat global, populasi umur bekerja (18 hingga 60 tahun) akan menyaksikan penurunan sebanyak 10 peratus menjelang tahun 2060. Jumlah penduduk yang bekerja akan jatuh paling drastik, iaitu sebanyak 35 peratus atau lebih di Greece, Jepun, Korea, Latvia, Lithuania dan Poland. Pada hujung skala yang lain, jumlah tersebut akan meningkat melebihi 20 peratus di Australia, Mexico dan Israel. \nKekurangan tenaga kerja hanyalah satu daripada kesan peningkatan populasi tua. Terdapat banyak lagi risiko sosial dan ekonomi lain yang boleh dijangkakan apabila populasi global terus meningkat:\nPersoalannya apakah persediaan dunia untuk berhadapan dengan peningkatan penduduk tua?\nAgenda penduduk tua banyak diperkenalkan di kebanyakan negara maju. Hal ini bertujuan untuk membantu kelompok ini\u00a0 untuk merebut peluang kehidupan yang lebih baik dan terjamin. Agenda itu merangkumi semua aspek kehidupan, iaitu\u00a0 pekerjaan, pendidikan dan kesihatan. \nMaka itu, apakah wujud mekanisma yang benar-benar terbaik untuk menyokong pekerja yang lebih tua? Amat penting adalah untuk mencari cara yang terbaik untuk membantu pekerja yang lebih tua agar kelompok ini kekal produktif. Bermula tahun 2008 hingga \u00a0tahun 2018, orang yang berumur lebih daripada 55 tahun menyumbang sebanyak 79 peratus pertumbuhan pekerjaan di seluruh negara OECD dan sebanyak 103 peratus di negara G7. Dalam hal ini, banyak penganalisis percaya pemacu yang paling penting dalam bidang pekerjaan pekerja yang lebih tua bukanlah perubahan dalam saiz populasi yang lebih tua, tetapi perubahan dalam kemungkinan adakah mereka mampu untuk terus bekerja atau sebaliknya. \nDasar untuk menggalakkan penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi dalam kalangan pekerja yang lebih tua selalunya bergantung pada pelan pencen, kesihatan dan sokongan yang tersedia untuk mereka, serta struktur industri dan jenis pekerjaan yang ditawarkan. Penggunaan robotik dan kecerdasan buatan juga harus membantu menyokong pekerjaan dalam kalangan kumpulan ini. Pekerja yang lebih tua lebih cenderung terhadap kerja yang fleksibel dan sambilan, walaupun gaji yang ditawarkan adalah lebih rendah seperti yang ditawarkan di Jepun dan Singapura. \nMenyokong pekerja yang lebih tua juga\u00a0 perlu mengambil kira polisi yang menyukarkan mereka mendapatkan pekerjaan dan pelbagai kemungkinan yang boleh menyebabkan mereka dipecat. Dalam hal ini banyak negara perlu proaktif dalam memperluaskan hak orang kurang upaya serta bersedia untuk menggubal undang-undang untuk menyokong dan melindungi pekerja yang lebih tua.\nApabila populasi meningkat, beban penyakit beralih kepada penyakit tidak berjangkit, seperti penyakit jantung, kanser, diabetes dan demensia. Pada tahun 2016, penyakit ini menyumbang sebanyak 71 peratus kematian di seluruh dunia, dengan sebanyak 78 peratus berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Umum mengetahui bahawa penyakit tidak berjangkit memerlukan kos yang mahal dan memerlukan rawatan dalam tempoh yang panjang. Maka itu, untuk mengurangkan kesannya, negara berpenduduk tua harus menitikberatkan\u00a0 penjagaan kesihatan menerusi pencegahan. Tumpuan harus diberikan terhadap pendidikan awam yang bertujuan untuk mengubah tingkah laku berkaitan dengan aktiviti dan diet yang diamalkan oleh kelompok berusia. Mereka perlu didedahkan dengan implikasi kesihatan yang terkait dengan gaya hidup yang tidak sihat yang mereka masih amalkan pada usia tua, misalnya kelompok yang berusia yang masih minum arak dan merokok. \nMemandangkan berjuta-juta lagi penduduk yang dijangka akan hidup melebihi umur 65 tahun, hal ini sudah tentu akan memaksa banyak negara melihat semula dasar pentadbiran berkaitan dengan pengurusan penduduk tua. Misalnya usaha untuk menaikkan umur pencen. Dalam hal ini, kerajaan pastinya memerlukan dasar yang memberikan sokongan kepada mereka yang tidak lagi mampu bekerja dengan menyediakan insentif untuk mereka yang masih mampu bekerja. Misalnya, pekerja A yang berusia 55 tahun tidak lagi mampu bekerja, sementara pekerja B yang berusia 56 tahun masih berkebolehan untuk terus bekerja. Maka itu, perlu ada polisi yang berbeza dalam menangani perbezaan ini. \nMemandangkan peningkatan dalam jangka hayat sihat bukan sahaja bergantung pada pendapatan dan jaminan pekerjaan, tetapi juga untuk tujuan sosial yang lebih luas. Misalnya pertubuhan seperti Japan\u2019s Council for Designing 100-Year Life akan terus membantu dan memantau kemajuan ke arah sasaran kehidupan 100 tahun dengan meningkatkan penyelarasan merentas jabatan kerajaan di negara itu.\n Ahli falsafah Perancis, Auguste Comte menyatakan bahawa \u201cdemografi adalah takdir.\u201c Maka itu, individu yang hidup lebih lama seharusnya lebih sihat dan hal itu sepatutnya mengembirakan dan dapat meningkatkan pulangan ekonomi kepada negara yang terlibat. Maka itu, merancang dasar untuk memaksimumkan bilangan orang dari semua peringkat umur yang mendapat manfaat daripada kesan jangka hayat ini sambil berusaha untuk meningkatkan produktiviti sepanjang hayat yang lebih panjang seharusnya menjadi pertimbangan semua negara, tidak terkecuali Malaysia." "Bangsa yang Membaca\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nSama ada anda membaca untuk keseronokan atau untuk menambahkan ilmu, membaca pasti memberikan \u201csesuatu\u201d kepada pembacanya. Hal ini pastinya bergantung pada jenis dan topik yang dibaca, jika ilmu yang dibaca mendatangkan kebaikan, maka pembacanya akan mendapat ilmu yang berguna, jika sebaliknya, maka ilmu itu juga mampu menjejaskan pembacanya. \nMisalnya, seseorang pembaca membaca untuk mendapatkan ilmu dalam bidang kulinari. Hal ini merangkumi teknik masakan yang betul yang pada akhirnya akan menghasilkan masakan yang enak. Daripada kemahiran yang dipelajari melalui pembacaannya, seseorang itu berpeluang untuk memasarkan masakannya dan mungkin akan membolehkannya menceburi bidang perniagaan. Hal ini berbeza daripada seseorang yang membaca cara memproses bahan terlarang seperti dadah. Jika ilmu yang diperolehnya digunakan untuk memproses dadah, pada akhirnya nanti hal itu akan menjerumuskannya ke kancah jenayah. \nMembaca menambahkan dan memperkayakan kita dengan ilmu pengetahuan. Namun begitu, sebagai pembaca, seseorang haruslah bijak memilih bahan bacaan yang dibacanya. Menyedari bahawa membaca bahan bacaan yang berkualiti \u00a0dapat menjadikan seseorang itu berjaya dan menjadi bangsa yang maju,\u00a0 banyak pihak mengukur tahap pembacaan sesebuah negara dengan mengaitkannya dengan kemajuan dan pembangunan sebuah tamadun bangsa. \nMaka itu, akhbar Independent pada tahun 2016 merumuskan\u00a0 bahawa India mendahului negara di dunia sebagai negara yang paling banyak membaca. Rakyat di negara tersebut dipercayai membaca dengan putara tempoh 10 jam seminggu. Jika dihitung, jumlah tersebut diyakini cukup untuk menghabiskan sebuah buku dan memulakan membaca buku yang baharu dalam minggu yang sama!\nBerada pada kedudukan kedua ialah Thailand yang memperuntukkan tempoh sembilan jam seminggu untuk membaca. Berada pada kedudukan ketiga ialah China dengan purata membaca lapan jam seminggu. Keadaan ini dirumuskan oleh kebanyakan pakar di negara maju sebagai sesuatu yang membanggakan apabila dianggarkan purata membaca kedua-dua buah negara tersebut adalah sejam sehari. \nDi manakah kedudukan Malaysia? Sehingga tahun 2022, purata membaca dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah, iaitu kurang daripada tiga jam seminggu. Kadar tersebut sememangnya jauh lebih rendah berbanding dengan India, Thailand dan China. Menurut kajian profil membaca yang dijalankan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada 2005 mendapati rakyat Malaysia hanya membaca dua naskhah buku setahun. Angka itu meningkat kepada 15 naskhah pada\u00a0tahun 2014 berdasarkan laporan kajian interim,\u00a0namun\u00a0tabiat membaca masih lagi rendah berbanding dengan 40 judul buku setahun di negara maju. \nDaripada kajian tersebut, sebanyak 76 peratus atau 18 juta rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas boleh diklasifikasikan sebagai sasaran pembaca buku yang berdaya beli untuk pasaran buku. Namun begitu, sebanyak 22 peratus (5.5 juta) dalam kumpulan usia sama menyatakan langsung tidak berminat mahupun peduli dengan buku dan sumber bacaan yang ada. Angka 5.5 juta merupakan purata responden yang dikaji dan menyatakan tidak membeli walaupun sebuah buku sepanjang tahun. Daripada jumlah itu, hanya 16 peratus (3.7 juta) pembaca masih mengamalkan budaya meminjam buku di perpustakaan dan sebanyak sembilan peratus mengakui meminjam buku daripada rakan. Hal ini menjadi jawapan apabila Malaysia tidak termasuk dalam senarai NOP World Culture Score Index. \nBanyak pihak yang menyimpulkan bahawa rakyat Malaysia malas membaca. Banyak juga yang mengaitkan kemalasan ini dengan faktor budaya membaca yang tidak dipupuk dari kecil dengan cuba membandingkannya dengan budaya di Jepun. Tidak kurang juga yang menyalahkan pihak lain atau kempen membaca yang dikatakan tidak mendatangkan hasilnya. \nBenarkah Rakyat Malaysia Malas Membaca? \nMenurut Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MKBM), Mohd Khair Ngadiron dakwaan rakyat Malaysia malas membaca kurang tepat setelah melihat julan buku secara dalam talian yang mencatatkan peningkatan khususnya ketika negara berhadapan dengan pandemik COVID-19 pada tahun 2020 dan 2021. \n\u201cApabila Perintah Kawalan Perrgerakan\u00a0 berakhir, kita dapat melihat sendiri sambutan hangat terhadap Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang mencecah 1.3 juta pengunjung sepanjang 10 hari penganjurannya, manakala Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) pula memikat 250 000 orang,\u201d ujar Mohd Khair pada Januari lalu.\u00a0\nTambahnya lagi, ada pihak yang mengatakan bahawa rakyat Malaysia suka membeli buku tetapi tidak membacanya. Namun bagi Khair, minat terhadap buku itu boleh mendorong mereka untuk membaca. Jika tidak membeli buku, bagaimana mereka mahu membaca?\n\u201cAndai kata buku yang dibeli disimpan di rak, jika pembeli tidak membacanya ahli keluarga mereka boleh membaca buku itu. Malah menerusi pembelian itu minat membaca boleh dikembangkan. Perkara yang paling penting minat terhadap buku itu perlu ada dahulu sebelum membeli atau membaca buku,\u201c katanya. Tambahnya lagi, berdasarkan kejayaan PBAKL dan SIBF, rakyat di negara ini masih lagi suka membaca buku fizikal.\n\u201cAda dakwaan buku fizikal semakin dilupakan. Kalau terbit pun jualannya tidak mencapai tahap yang memuaskan dan menyebabkan rangkaian kedai buku yang terkemuka banyak ditutup di seluruh negara. Sebenarnya, buku fizikal ada peminat tersendiri. Di Malaysia kita mempunyai lebih daripada 30 juta penduduk, tidak dinafikan golongan yang lebih muda lebih selesa menggunakan gajet seperti telefon pintar, tetapi gajet ada kekangan tersendiri menjadikan buku fizikal tetap ada penggemarnya,\u201c katanya.\nHal ini katanya memberi petunjuk yang jelas bahawa masih ada ruang yang luas untuk mengembangkan lagi industri buku tempatan. Namun hal itu perlu dimulakan dengan mendapat kerjasama dengan agensi berkaitan seperti\u00a0 Perpustakaan Negara Malaysia untuk mewujudkan sinergi bersama.\nMenurutnya lagi, langkah pertama untuk itu ialah Malaysia memerlukan data yang betul untuk membuat kajian mengenai industri buku dan usaha untuk meningkatkan minat membaca dalam kalangan rakyat. Data yang kurang tepat ujarnya akan mewujudkan persepsi yang tidak baik misalnya kedai buku kononnya ditutup kerana rakyat tidak suka membaca. Walhal kedai buku indie bersaiz kecil dan diusahakan oleh anak muda kekal mendapat sambutan yang hangat. Malah pemain industri daripada luar negara turut membuka cawangan kedai buku mereka di Malaysia, misalnya Tsutaya Books di Bukit Jalil.\nJusteru katanya, beliau sangat yakin dengan kemampuan industri buku. Malah pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 bakal memberikan harapan yang besar kepada penggemar buku kerana keperibadian Anwar sebagai pembaca tegar. Tambah Khair lagi, buku merupakan sumber ilmu. Maka itu, perlu ada peruntukkan daripada kerajaan untuk memastikan semua generasi di seluruh pelosok tanah air mendapat bahan bacaan yang selayaknya.\nMaka itu, sekiranya Malaysia ingin mengecap kejayaan seperti negara maju \u2013 Jerman, Jepun dan China, bangsa Malaysia perlu melakukan anjakan paradigma dengan menjadikan amalan membaca sebagai satu daripada budaya kerana bangsa yang membaca adalah bangsa yang berjaya.\u00a0 \nTuntasnya, langkah awal menjadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang tahun 2030 yang disasarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia seharusnya disemarakkan oleh semua pihak dengan merentas kementerian. Berbaki tujuh tahun sahaja lagi, impian itu harus dijelmakan bermula dari sekarang dan selari dengan agenda Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri untuk mengangkat semula martabat negara agar dihormati di seluruh dunia." "DYTM Raja Muda Perlis Berkenan Berangkat Melawat Rail Depot\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSerendah \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat ke Rail Depot yang merupakan milik syarikat Dhaya Maju Infrastructure Asia (DMIA) Sdn. Bhd. yang terletak di Serendah, Hulu Selangor, semalam.\nKeberangkatan tiba baginda disambut Pengerusi Kumpulan DMIA, Jeneral Tan Sri Dato\u2019 Seri Panglima Mohd Azumi Mohamed (Bersara) dan Pengarah Eksekutif Kumpulan DMIA, Datuk Seri Dr. Subramaniam Pillai. Yang turut hadir ketika lawatan tersebut ialah Ahli Lembaga Pengarah DMIA, iaitu Tan Sri Mazlan Lazim, Tan Sri Ismail Haji Bakar dan Datuk Shaharuddin Md Som.\nBaginda pada sesi keberangkatan tersebut turut beramah mesra dengan pihak pengurusan serta menyantuni tenaga kerja syarikat tersebut yang hadir dan meninjau sendiri peralatan dan aset kereta api termasuk jentera berat rehabilitasi landasan yang digunakan untuk projek naik taraf infrastruktur landasan berkembar elektrik di Lembah Klang.\nKetua Pegawai Eksekutif Kumpulan DMIA,\u00a0Datuk Mohamed Razeek Hussain turut menyampaikan sembah taklimat berkaitan dengan peranan, cabaran serta kejayaan DMIA sepanjang tahun lalu serta perancangan pada tahun 2023. Beliau ketika menyampaikan sembah taklimat tersebut turut menekankan peri penting setiap peringkat warga kerjanya melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan penuh amanah demi untuk keselamatan, kemudahan dan keselesaan kepada pengguna yang menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak mereka.\nMenurut Jeneral Tan Sri Dato\u2019 Seri Panglima Mohd Azumi Mohamed dalam sembah ucapan alu-aluan, beliau menekankan tentang pemantauan dan rasa tanggungjawab setiap kakitangan untuk menunaikan tugasan dengan penuh berintegriti yang menjadi teras utama bagi memastikan kejayaan sesebuah organisasi. Setiap tugasan dilakukan bukan sekadar untuk memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI), namun demi menunaikan amanah serta tanggungjawab terhadap kerja masing-masing.\nTambah beliau lagi,\nMenjadi suatu kelaziman bagi setiap individu untuk meletakkan sasaran serta azam baharu bagi permulaan pada setiap tahun. Namun begitu, sebagai seorang pekerja, matlamat yang sebenar adalah apabila melaksanakan setiap tugasan, mereka seharusnya mencapai tahap yang terbaik dan mestilah lebih baik daripada yang sebelumnya.\nTerdahulu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan berangkat ke Majlis Kesyukuran DMIA Tahun 2023." "Libatkan Diri dalam Aktiviti Kemasyarakatan \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSimpang Empat \u2013 Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru mahasiswa agar sentiasa menimba ilmu dalam pelbagai bidang, yakni melibatkan diri dalam aktiviti atau persatuan serta program kemasyarakatan.\n\u201cLihatlah segala peluang bagi mempelajari ilmu di luar kelas, seperti penglibatan dalam aktiviti kelab atau persatuan dan program tanggungjawab sosial universiti (USR), menyertai program sukarelawan membantu mangsa banjir, aktiviti di masjid-masjid dan rumah ibadat, serta program motivasi atau aktiviti pembangunan sukan di sekolah. Penglibatan masing-masing diharap mampu menjadi nilai tambah apabila bergraduasi kelak.\u201d\nTitah baginda selepas berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bernilai RM700 secara tunai, beras dan bekalan makanan mentah kepada setiap seorang daripada tiga buah keluarga asnaf yang terpilih di rumah masing-masing.\nTerdahulu, penerima zakat ialah Aishah Saad, 84 tahun yang berhadapan dengan ahli keluarganya yang mempunyai masalah kesihatan, dan Abu Bakar @ Mat Zain Abdullah, 84 tahun yang mempunyai masalah kesihatan tinggal dalam kariah Masjid Al-Hidayah, Kampung Titi Beratap, Simpang Empat.\nPenyampaian agihan tersebut dilakukan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra sempena program rutin kayuhan berbasikal \u201cMAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf\u201d." "Mahasiswa dan Kenaikan Kos Sara Hidup\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKos sara hidup yang semakin meningkat di negara kita jelas menghimpit dan menekan kehidupan masyarakat. Mahasiswa merupakan antara golongan yang tidak terkecuali daripada dibelenggu oleh masalah ini. Golongan ini yang masih tidak mempunyai pendapatan sendiri dan hanya mengharapkan bantuan atau biasiswa pengajian terpaksa mengikat perut dan mencatu perbelanjaan mereka. Bahkan, berdasarkan rekod sistem MyMoheS Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), lebih 30 000 atau 2.6 peratus daripada lebih 1.1 juta orang mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) gagal menamatkan pengajian pada tahun 2020 dan 2021. Walaupun terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada kegagalan tersebut, masalah kewangan juga merupakan antara faktor yang turut menyebabkan mahasiswa di negara ini gagal menamatkan pengajian mereka.\nJika tidak, mana mungkin pada Julai lalu, segelintir mahasiswa Malaysia telah melakukan protes jalanan di IPT masing-masing bagi menyuarakan isu peningkatan kos sara hidup dan inflasi makanan yang turut memberkan impak kepada golongan mahasiswa. Protes tersebut tercetus akibat lonjakan harga barang keperluan dan pemansuhan subsidi terhadap beberapa barangan sejak kebelakangan ini. Sebelum ini, golongan masyarakat yang merungut dan menunjukkan solidariti lebih terarah kepada mereka yang telah berkeluarga tetapi kini para mahasiswa juga lantang melakukan protes berkaitan dengan isu ini. Hal ini disebabkan inflasi makanan yang terjadi di negara kita menjadi beban dan cabaran baharu kerana segelintir mahasiswa dikatakan mengikat perut dan menahan lapar pada setiap malam kerana mereka terpaksa berjimat cermat.\nMahasiswa daripada keluarga berstatus pendapatan B40 merupakan golongan yang paling teruk menerima tempias daripada krisis inflasi makanan. Hal ini dikatakan demikian kerana keluarga mereka juga turut bergelut untuk mencari pendapatan harian sehingga tidak mampu untuk membantu anak mereka yang terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup di kampus. Hal ini menyebabkan segelintir mahasiswa menyuarakan pendapat agar proses pembelajaran mereka diteruskan secara dalam talian ketika fasa peralihan ke endemik ini supaya isu ikat perut dalam kalangan mereka dapat diselesaikan. Mahasiswa kini juga perlu mencari pekerjaan sampingan di luar kampus supaya dapat menampung perbelanjaan mereka sepanjang tempoh pengajian akibat kenaikan harga barang keperluan, terutamanya makanan asas. Hal ini demikian kerana bantuan atau biasiswa kewangan yang diterima oleh mahasiswa pada masa ini hanya mencukupi bagi melangsaikan bayaran yuran pembelajaran peperiksaan dan kolej kediaman sahaja.\nDesakan dan tekanan hidup yang dihadapi oleh mahasiswa gara-gara peningkatan kos sara hidup perlu diberi perhatian serius kerana mampu menjejaskan tumpuan terhadap pengajian mereka selain mengundang stres sedangkan mereka merupakan generasi pewaris masa hadapan negara. Selaras dengan inisiatif yang dikemukakan oleh pihak KPT, kebanyakan IPTA telah mengambil langkah yang sewajarnya dengan memperkenalkan menu makanan serendah RM3.50 untuk mengelakkan para mahasiswa daripada berlapar. Bukan itu sahaja, terdapat juga IPTA yang memberi baucar makanan percuma bernilai RM5 sehari kepada pelajar daripada keluarga B40. Walau bagaimanapun, mahasiswa juga perlu berusaha mengubah gaya hidup mereka dalam usaha untuk menangani peningkatan kos sara hidup agar mereka lebih bersedia apabila beralih ke alam pekerjaan nanti. Golongan mahasiswa juga perlu mengamalkan prinsip kesederhanaan dalam menguruskan perbelanjaan seharian mereka terutamanya dalam keadaan ekonomi yang dijangka tidak menentu dengan mengutamakan keperluan berbanding dengan kemahuan.\nSituasi ekonomi yang tidak menentu dengan kenaikan harga makanan sememangnya memerlukan para mahasiswa mempunyai tahap literasi kewangan yang tinggi kerana literasi kewangan mampu mempengaruhi kehidupan seseorang dalam menguruskan wang yang dapat memberikan impak yang positif dalam kehidupan mereka. Namun begitu, pengurusan kewangan peribadi masih lagi tidak menjadi subjek khas yang diajar di sekolah mahupun IPT di negara kita sedangkan di negara-negara maju, literasi kewangan merupakan antara subjek yang diberikan perhatian sejak peringkat awal lagi. Para pelajar menengah atas di Amerika Syarikat contohnya perlu mengambil ujian literasi ekonomi, iaitu \u201cThe Test of Economic Literacy\u201d kerana di negara tersebut, literasi ekonomi dianggap begitu penting untuk individu, isi rumah, firma dan juga negara. Walaupun mahasiswa belum mempunyai pendapatan sendiri, tetapi sebenarnya mereka juga perlu didedahkan dengan pengetahuan pengurusan kewangan yang betul agar mereka mampu menggunakan wang bantuan atau biasiswa secara cekap dan berhemah.\nBahkan, terdapat kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa sebahagian besar golongan mahasiswa menghabiskan pinjaman atau biasiswa pengajian yang diterima oleh mereka sebelum semester berakhir. Situasi ini disifatkan sebagai kurangnya tahap literasi kewangan golongan tersebut sehingga menyebabkan mereka tidak mempunyai wang yang cukup untuk dibelanjakan pada penghujung semester. Kegagalan ini menyebabkan segelintir daripada mereka terpaksa berhempas pulas melakukan beberapa kerja sambilan bagi mendapatkan wang untuk meneruskan kehidupan mereka di kampus. Akibatnya, mereka tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya ketika kuliah dijalankan kerana keletihan. Tambah menyedihkan, mahasiswa menggunakan wang tersebut untuk menjalani gaya hidup secara berlebihan dan tidak mengukur baju di badan sendiri. Sebagai contoh, mereka menggunakan wang tersebut dengan membeli telefon pintar mewah. Memang tidak dinafikan bahawa telefon pintar kini merupakan sebahagian daripada keperluan mahasiswa untuk digunakan bagi melancarkan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) masing-masing tetapi bukanlah wajib untuk memiliki telefon pintar yang terlalu mahal demi mengikut trend terkini.\nBukan itu sahaja, terdapat juga segelintir daripada mahasiswa yang suka bergaya dengan mengikuti fesyen terkini sehingga berlakunya pembaziran. Di samping itu, ada pula mahasiswa yang gemar berbelanja berlebihan dengan makan di restoran mewah. Tidaklah menjadi kesalahan untuk berbuat demikian jika mereka mampu, tetapi menyedihkan apabila mereka terpaksa mengikat perut pada penghujung semester gara-gara tindakan mereka berbelanja mengikut nafsu. Perkara terbaik adalah dengan merancang perbelanjaan sebaik-baik sahaja wang bantuan atau biasiswa pengajian mereka diterima. Sebenarnya, pada zaman serba canggih ini, mahasiswa boleh menggunakan pelbagai aplikasi dalam telefon pintar seperti Buku Bajet, \u201cMoney Manager\u201d, \u201ceZ Budget Planner\u201d dan lain-lain lagi yang boleh dimuat naik secara percuma untuk mencatatkan perbelanjaan masing-masing. Budaya mencatat dan merekodkan setiap perbelanjaan perlu dijadikan sebagai sebahagian daripada amalan rutin mahasiswa agar mereka tidak kehabisan wang pada hujung semester. Rutin ini juga bagi mengelakkan mahasiswa daripada berhutang demi memenuhi keperluan mereka.\nPeningkatan kos sara hidup dan inflasi makanan di negara kita sejak kebelakangan ini sememangnya antara cabaran baharu buat golongan mahasiswa di negara kita. Mahasiswa sebagai peneraju masa hadapan perlu lebih bijak mengatur perbelanjaan masing-masing agar tidak terhimpit pada penghujung semester pengajian. Perkembangan teknologi juga membolehkan mereka membuat pekerjaan yang mudah seperti \u201cdropship\u201d dalam menambah pendapatan mereka bagi menangani isu ini. Walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu golongan mahasiswa, mereka juga sebenarnya tidak boleh berpeluk tubuh semata-mata. Mahasiswa perlu meningkatkan tahap literasi kewangan masing-masing dalam suasana ekonomi negara yang masih lagi dalam proses pemulihan pada masa ini." "Perdana Menteri Hadiri Kenduri Rakyat di Kampung Halaman Sendiri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBukit Mertajam \u2013 Pada 23 Januari 2023 pukul 8.00 malam, Ceruk Tok Kun yang merupakan tempat kelahiran Perdana Menteri ke-10 dipenuhi oleh rakyat Pulau Pinang, khususnya penduduk yang tinggal berdekatan kerana menyambut ketibaan YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim sempena Majlis Kenduri Rakyat Bersama-sama Perdana Menteri di Galeri Pejuang. Galeri Pejuang merupakan kediaman keluarga YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim, iaitu tempat beliau dibesarkan.\nRibuan rakyat hadir bagi meraikan YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim yang buat kali pertama pulang ke kampung halaman selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022. Sebelum itu, Perdana Menteri menyertai solat Maghrib berjemaah di Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah yang terletak tidak jauh dari kediaman berkenaan.\nDalam ucapan beliau, YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua rakyat:\nApa-apa pun kedudukan kita, kita mesti mengakar ke bumi. Kita tidak boleh lupa diri walaupun sudah berada di puncak. Oleh itu sebab itu juga saya meminta penganjur untuk mengadakan majlis yang sesederhana mungkin sempena Kenduri Rakyat di Bukit Mertajam ini, khususnya di Ceruk Tok Kun, yakni tempat kelahiran saya.\nSelain itu, beliau turut menyebut soal masyarakat madani yang terasnya nilai, akhlak dan akidah bagi mengangkat martabat insan.\nSebelum itu, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, yang juga Timbalan Menteri Kewangan II, YB Steven Sim Chee Keong dalam ucapannya selaku tuan rumah berkata,\nSaya berasa sangat girang kerana rajawali sudah kembali ke sarang. Rajawali ini merupakan pejuang yang telah berjuang dalam satu tempoh masa yang begitu lama untuk menegakkan keadilan. Saya pasti semua yang ada di sini berasa gembira kerana rajawali sudah terbang tinggi. Walaupun sudah terbang tinggi, namun hari ini rajawali ini kembali ke tanah asalnya.\nYB Steven Sim turut memetik puisi karya Rendra bagi menggambarkan rajawali yang beliau maksudkan itu, \u201cRajawali yang terbang tinggi itu akan terus membelah langit dengan setia\u201d. Daripada petikan puisi itu, YB Steven Sim yakin YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim tidak akan melupakan rakyat apatah lagi melupakan Bukit Mertajam.\nKetua Menteri Pulau Pinang dalam ucapannya turut menyatakan sokongan yang sepenuhnya kepada Perdana Menteri itu. \u201cBagi pihak kepimpinan kerajaan negeri dan seluruh rakyat negeri Pulau Pinang, tahun 2023 pasti membawa lembaran baharu kepada kita. Saya juga yakin Perdana Menteri dapat membentuk masa depan yang lebih baik bagi penduduk Pulau Pinang.\u201d\nMengakhiri ucapan beliau, YB Chow Kon Yeow menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama sebagai sebuah pasukan kerana percaya kredibiliti, pengetahuan dan pengalaman luas YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim yang namanya tidak asing pada peringkat negara dan juga dunia.\nTurut hadir dalam majlis Kenduri Rakyat ialah Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, Timbalan Menteri Pendidikan, YB Lim Hui Ying, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YB Dato\u2019 Mohd Sayuthi Bakar, Datuk Bandaraya Pulau Pinang, Dato\u2018 Ar. Yew Tung Seang dan Mufti Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Mohd. Noor, serta Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.\nKepulangan YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim ke kampung halamannya dalam lawatan kerja sehari ke Pulau Pinang diiringi oleh isteri, YB Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan anak beliau, Nurul Izzah Anwar. Menurut penganjur, hampir 3000 rakyat membanjiri Ceruk Tok Kun untuk bertemu dan beramah mesra dengan Perdana Menteri ke-10 itu." "Justikasi Bengkel Persediaan Peperiksaan SPM untuk Murid Islam di Johor Bahru\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0Johor Bahru\u00a0 \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merujuk\u00a0 satu hantaran di aplikasi Twitter berhubung dengan penganjuran Bengkel Persediaan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) oleh SMK Infant Jesus Convent, Johor Bahru, Johor. KPM telah mendapatkan maklum balas awal dari pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor berhubung dengan bengkel berkenaan serta justifikasi program yang dilaksanakan dalam dua siri.\nBengkel tersebut diadakan atas inisiatif Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru yang telah menganjurkan dialog prestasi yang kemudiannya disusuli dengan penganjuran bengkel tersebut oleh pihak sekolah. Program tersebut merupakan kerjasama antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dengan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) serta Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS). Laporan awal mendapati bahawa bengkel tersebut merupakan satu daripada pelbagai perancangan pihak yang berkaitan bagi memastikan semua murid tanpa mengira kaum dapat membuat persediaan menjelang peperiksaan SPM.\nPada 19 dan 20 Januari 2023, Bengkel Persediaan SPM untuk calon telah dilaksanakan terlebih dahulu di Hotel Suasana, Johor Bahru melibatkan 30 orang calon yang gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah serta melibatkan calon GALUS (gagal lulus) dalam beberapa mata pelajaran lain. Bengkel yang dilaksanakan diasingkan mengikut siri untuk mengelakkan gangguan terhadap calon yang sedang membuat persiapan bagi menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.\nKPM turut dimaklumkan bahawa bengkel susulan yang sama bagi calon lain juga telah dirancang untuk dilaksanakan pada 26 dan 27 Januari 2023 bertempat di hotel yang sama. Hasil siasatan mendapati tiada isu diskriminasi terhadap semua calon yang akan menduduki SPM dalam program yang telah dirancang oleh pihak sekolah dengan melibatkan pegangan agama berbeza sebagaimana yang didakwa.\nWalau bagaimanpun, KPM menyifatkan prestasi komunikasi akan dipertingkatkan bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang. Pendidikan adalah elemen utama yang merentas setiap kaum, agama dan bangsa. Proses dan carta alir penganjuran program oleh pihak sekolah adalah antara aspek yang sering diberi penekanan. KPM juga memohon kerjasama agar ibu bapa dan masyarakat terus menghubungi KPM melalui platform rasmi sekiranya terdapat sebarang isu atau masalah terutamanya yang melibatkan murid-murid kerana KPM sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan murid sentiasa menjadi keutamaan." "Menjulang bahasa Melayu di PBB: Tahniah Perdana Menteri Adiwira Negara!\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta seluruh warga kerja DBP yang memegang amanah menjaga maruah dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa negara mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob atas ketegasan beliau mengangkat bahasa negara di pentas dunia, lebih-lebih lagi di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu forum tertinggi dunia.\nJelas Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan:\nSemua warganegara Malaysia mesti memberikan penghargaan yang sama kepada YAB Perdana Menteri. Inilah kali pertama sejak merdeka dan sejak negara kita menjadi anggota PBB, 65 tahun lalu, Perdana Menteri negara kita mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa negara demikian tingginya.\nJelas beliau lagi, media kerajaan seperti RTM dan media lain di negara ini patut menyiarkan ucapan Perdana Menteri kita di PBB itu seluas-luasnya sebagai tanda penghormatan dan penghargaan kepada langkah mulia dan terpuji YAB Perdana Menteri. Satu usaha dengan menyediakan ruangan khas perlu diadakan oleh semua media di negara ini untuk membolehkan seluruh lapisan rakyat menyampaikan pernyataan tahniah dan penghargaan kepada PM sebagai adiwira negara.\n\u201cSemua pemimpin lain di negara ini wajib menyusuli langkah mulia Perdana Menteri itu dengan berucap dalam bahasa negara di semua majlis dan forum antarabangsa. Jangan ada yang bersikap dingin dan tidak menyertai Perdana Menteri (apatah lagi bercanggah) dalam mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Semua penjawat awam, pemimpin institusi pengajian ilmu, pemimpin korporat dan semua pihak lain juga mesti menyokong pendirian dan langkah terpuji Perdana Menteri itu.\u201c Demikian harapan Pengerusi dan ahli Lembaga Pengelola DBP dalam memastikan bahasa Melayu terus dijulang ke persada antarabangsa.\nSementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran turut\u00a0 merakamkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri kerana menjulang bahasa Melayu ke persada antarabangsa. \nUcapan dalam bahasa Melayu tersebut juga membuktikan bahawa bangsa Malaysia mempunyai citra, tamadun dan susur galur ilmu yang tersendiri. Hal ini juga secara tidak langsung menimbulkan rasa megah dan percaya diri kepada bangsa Malaysia. Bangsa Malaysia sememangnya merupakan bangsa yang berkeupayaan dan terbukti telah membina tamadun tinggi sejak dahulu.\nBeliau juga menyatakan bahawa semua pihak harus menjadikan YAB Perdana Menteri sebagai teladan terbaik dalam usaha memartabatkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu. Keberanian YAB Perdana Menteri bagaikan langkah yang menggerakkan jiwa rakyat untuk terus berusaha meletakkan bahasa Melayu selayak-layaknya di peringkat antarabangsa.\nKeberanian YAB Perdana Menteri berucap dalam bahasa Melayu itu turut mendapat pujian daripada tokoh bahasa Melayu, iaitu YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim.\nTerima kasih dan tahniah kepada YAB Perdana Menteri kerana membawa bahasa Melayu ke pentas antarabangsa, iaitu ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Sudah lama kita merdeka dan mempunyai bahasa kebangsaan sendiri tetapi tidak banyak orang yang membawanya ke tahap yang lebih tinggi. Jadi, saya berasa amat gembira dan bangga dengan tindakan YAB Perdana Menteri. Semoga melalui usaha ini akan ada lebih banyak orang lain yang bersedia dan berani untuk bercakap dalam bahasa Melayu di arena antarabangsa. Rakyat Malaysia sungguh berbangga dengan YAB Perdana Menteri pada kali ini yang tidak henti-henti memperjuangkan bahasa Melayu, bukan sahaja dalam konteks negara tetapi juga membawanya ke taraf antarabangsa.\nHal tersebut dipersetujui oleh YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, iaitu Felo Penyelidik Utama, Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia yang turut menyatakan penghargaannya.\nSatu detik yang paling bersejarah setakat ini bagi perjuangan bahasa Melayu untuk dijulangkan pada tempat yang sewajarnya sebagai bahasa negara Malaysia. Penggunaannya buat julung-julung kalinya di arena dunia sepenting Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, bukan sahaja berjaya meletakkannya di pentas dunia, bahkan lebih penting daripada itu ialah ranah penggunaannya pada tahap kuaternari, iaitu ikut melakar dasar urus tadbir dunia, adalah sehebat-hebat maqam martabatnya." "Majlis Perwakilan Pelajar UUM Sedia Galas Tanggungjawab\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nBarisan baharu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) Sesi 2022/2023 diraikan pada Sesi Pengumuman Majlis Tertinggi MPP Bilik Senat Universiti, baru-baru ini.\nKepimpinan tertinggi baharu itu diterajui Yang Dipertua MPP, Muhammad Izuan Faiz Abdul Rahman; Naib Yang Dipertua MPP, Kavines Nair a/l Ananthan; Setiausaha MPP, Emina Kulasic Bong Ei Min dan Bendahari MPP, Aqimi Rafuad Arisza.\nPengumuman itu dibuat oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Shahimi Mohtar yang menjalankan fungsi Naib Canselor.\nProfesor Dr. Shahimi berkata, proses pengundian berjalan lancar dan tiada sebarang insiden yang berlaku, sekali gus menunjukkan mahasiswa UUM mematuhi peraturan yang ditetapkan dan proses pemilihan yang telus.\nTerima kasih dan tahniah kepada semua yang terpilih. Kepercayaan yang diberikan ini harus digunakan dengan baik agar memberikan manfaat kepada pelajar, di samping membantu pihak pengurusan universiti.\nSementara itu, Yang DiPertua MPP, Muhammad Izuan Faiz turut melahirkan rasa syukur apabila diberikan kepercayaan untuk memimpin MPP Sesi 2022/2023 dan bersiap sedia dalam usaha memberikan komitmen terbaik untuk berkhidmat kepada mahasiswa.\nSaya yakin jawatan ini hadir dengan satu tanggungjawab yang besar untuk memastikan suara mahasiswa UUM terus diangkat dan didengari oleh pihak pengurusan.\n\u201cFokus saya ialah kepimpinan berteraskan aspirasi mahasiswa, dengan memastikan satu kerjasama yang padu dalam kalangan pemimpin mahasiswa UUM dan membantu universiti,\u201d ujar pelajar Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa itu.\nSetiausaha MPP, Emina Kulasic pula ingin membawa perubahan yang positif dan bersedia menggalas amanah sebagai wakil pelajar demi membantu seluruh mahasiswa tanpa mengira latar belakang.\nKeputusan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2022/2023 telah menyaksikan sebanyak 44 calon menang bertanding di kerusi pemilihan masing-masing, iaitu 10 calon mewakili kerusi umum dan 34 calon lagi mewakili kerusi pusat pengajian." "Signifikan Buku dalam Kehidupan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBuku memainkan peranan penting dalam memajukan kehidupan manusia dari segi memahami trend, konsep dan fenomena baharu. Melalui buku, manusia dapat memajukan kesarjanaan dengan menyediakan asas yang muktamad untuk penyelidik membuat kerja-kerja awal, membincangkan implikasi akademik dan amalan yang berkaitan serta memberikan pandangan baharu dalam bidang tertentu yang muncul dengan pantas.\nBuku juga boleh dianggap sebagai artifak budaya kerana kandungannya merentas tradisi, bangsa serta generasi untuk sepanjang zaman. Penggunaan buku bukan sahaja memberikan impak dan perjalanan pengetahuan untuk setiap generasi, tetapi juga turut menghubungkan generasi dari satu abad ke abad yang lain. Menerusi buku, khazanah keintelektualan disimpan dan diperturunkan kepada ahli keluarga, saudara-mara, rakan sekerja, jiran tetangga dan masyarakat. Dengan itu, penulisan buku dianggap sebagai sesuatu yang istimewa kerana buku memberikan peluang kepada pembaca untuk mendekati dan menyentuh tamadun di seluruh dunia dalam pelbagai cara dari segi rohani dan intelek. Dari sisi yang lain, buku disifatkan sebagai harta yang tidak ternilai kerana di dalamnya terkandung ekspresi pengetahuan yang disatukan untuk dikongsi dengan orang lain.\nPeri Pentingnya buku dalam bidang kesarjanaan adalah kerana buku juga memberi peluang dan ruang untuk bukan sahaja bekerja dengan rakan sebaya dan rakan sekerja, tetapi menjangkau komuniti akademik yang lebih luas dengan menyatukan pelbagai topik penyelidikan, idea, perdebatan dan pandangan kritikal yang melihat topik yang sama daripada kanta yang berbeza, atau memberikan pandangan antara disiplin.\nKebanyakan ahli akademik bekerja dalam bidang yang tidak memberikan pengiktirafan yang sewajarnya kepada buku disebabkan mereka mempunyai pandangan yang berat sebelah dan cenderung untuk menulis dalam artikel penyelidikan empirikal dan berwasit, walhal penulisan dalam buku bukan sahaja dapat meluaskan kandungan, malah juga boleh menyokong lebih banyak konteks dalam penyelidikan yang mungkin terhad atau tidak dapat disentuh dalam artikel penyelidikan. Oleh sebab itu, buku dalam kategori penyelidikan menyediakan saluran untuk sorotan literatur disebabkan oleh sifatnya dalam\u00a0 melengkapkan artikel penyelidikan dan kekal memudahkan penerokaan idea dan konsep yang lebih mendalam dan boleh digunakan untuk membina kajian penyelidikan baharu.\nBagi pelajar kedoktoran dan sarjana, buku menjadi sumber yang membolehkan mereka mengembangkan pemahaman dengan lebih mendalam dan lebih menyeluruh tentang topik penyelidikan. Buku sebegini kebiasaannya mengambil masa yang lebih lama untuk ditulis berbanding dengan artikel penyelidikan biasa, namun amat penting dan berfungsi sebagai rujukan untuk pelbagai topik berbanding dengan artikel penyelidikan yang boleh diibaratkan seperti satu binaan ringkas. Hal ini disifatkan sedemikian kerana format buku dapat memberi ruang kepada pengarang untuk menyelami dengan lebih mendalam tentang perkara dan peralihan kepada aliran baharu yang muncul. Mendokumentasikan aliran dan menyelaraskannya dengan kajian terdahulu akan membolehkan idea-idea yang berpotensi muncul sehingga dapat menambah asas pengetahuan dalam bidang tersebut. Sekiranya fakulti diperlukan untuk menambah pangkalan pengetahuan melalui penyelidikan, maka buku pula memungkinkan atau membenarkan penemuan yang berpotensi daripada kajian penyelidikan atau tentang apa-apa yang berlaku di tempat kerja. Oleh itu, buku bukan sahaja dapat meluaskan pangkalan pengetahuan malah juga membolehkan seseorang membahaskan tentang apa-apa yang berlaku di lapangan.\nAdapun di sisi pelajar umum, buku dianggap sebagai satu keperluan sama seperti kudapan. Selain boleh diakses dengan mudah, buku dalam konteks akademik sering menyertakan kajian kes yang menjadikan kandungannya lebih mudah untuk dihadamkan. Kandungan yang berisi pengalaman peribadi bukan sahaja dengan segera dapat menarik minat pelajar tetapi pada masa yang sama dapat memupuk minat dan mencurahkan ilham sehingga menghasilkan perasaan yang luar biasa kepada mereka melalui dorongan semangat dan kreativiti dalam sesuatu bidang yang diceburi.\nPenerbitan buku menyerlahkan kepakaran seseorang itu dalam disiplin ilmu tertentu sehingga diiktiraf oleh mereka yang berada dalam bidang yang sama. Dari perspektif ahli akademik, pengiktirafan daripada sarjana yang berada dalam disiplin atau bidang yang sama adalah sangat penting kerana hal ini menjadi bukti kewibawaan seseorang dalam disiplin atau bidang tersebut. Pada hakikatnya, keseluruhan proses penerbitan itu sendiri merupakan satu pengiktirafan kepada penulis kerana isi kandungannya terlebih dahulu akan disemak oleh mereka yang berkelayakan dalam disiplin tersebut sebelum diterima oleh penerbit untuk diluluskan, diikuti dengan termeterainya kontrak perjanjian. Jika penerbitan buku dapat membantu pengarang membina profil dan rangkaian mereka, penyuntingan buku pula merupakan cara terbaik untuk membina hubungan dengan pasukan pembangun yang bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran organisasi tetapi turut menawarkan peluang untuk mengadakan kerjasama dengan pihak lain dalam lapangan penerbitan, di samping turut membina rangkaian keintelektualan.\nPenerbitan buku yang disunting memerlukan perjalanan global apabila ahli-ahli dalam pasukan pembangun akan berkongsi kepakaran mereka sekali gus mewujudkan pembangunan budaya kerja multidimensi. Pemikiran yang terhimpun dalam satu koleksi ini membolehkan ilmu tersebar dalam bentuk penerbitan yang berupaya menyediakan laluan kepada pembelajaran sepanjang hayat. Oleh sebab itu, buku yang disunting dianggap lebih dinamik dan mempunyai mobiliti kerana mengandungi ciri-ciri kebolehcapaian buku yang tersedia untuk orang awam dan khusus, mengatasi kertas jurnal yang hanya tersedia untuk khalayak khusus. Oleh itu, penerbitan buku sebegini dapat menyediakan laluan komunikasi yang lebih luas merentas disiplin yang bernilai dan bermanfaat, baik kepada orang awam mahupun kepada ahli akademik kerana berupaya meningkatkan pertumbuhan dan kebebasan berfikir.\nAntara faedah buku dari sudut kepenggunaannya tanpa mengira mana-mana disiplin atau bidang ilmu ialah:\nBuku dapat menambahkan pengetahuan dan meningkatkan daya pemikiran manusia. Menerusi buku, konsep yang berbeza dapat didedahkan dan pelbagai warna budaya di seluruh dunia dapat diperkenalkan. Buku menerusi pembacaan terhadapnya dapat menyuntik kesedaran tentang kepelbagaian masyarakat dan tamadun yang terdapat di seluruh dunia apabila seseorang itu dapat meneroka masa lalu, kini dan masa hadapan di samping dapat menyelesaikan pelbagai masalah.\n\u00a0\nDengan membaca, ingatan visual dapat diaktifkan. Ketika ingatan tersebut diaktifkan, cerita akan tergambar di hadapan mata dan sekiranya pembacaan dilakukan dengan lebih kerap, maka secara spontan pembaca akan menghafal isi kandungan buku tersebut. Dengan kata lain, buku merupakan medium terpenting untuk meningkatkan daya ingatan.\n\u00a0\nMembaca buku merupakan ubat yang paling mujarab untuk menghilangkan tekanan. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan membaca, seseorang itu akan dibawa ke dunia imaginasi. Dunia ini bukan sahaja dapat meringankan beban tetapi juga dapat memupuk kreativiti. Pada masa yang sama, hal ini dapat memberi inspirasi dan mendorong pembaca untuk mengubah kehidupan menerusi aura dan tenaga yang positif.\n\u00a0\nMembaca buku merupakan satu daripada kaedah terpantas untuk meningkatkan perbendaharaan kata. Semakin banyak seseorang itu membaca, maka semakin banyak pula perkataan baharu yang dipelajari. Apatah lagi jika seseorang itu membaca mengenai subjek yang berbeza, maka lebih luas pula perbendaharaan kata yang diperoleh.\n\u00a0\nSelain dapat menghilangkan tekanan, membaca buku juga dapat mendidik jiwa untuk memberikan tumpuan dalam kehidupan secara semula jadi. Hal ini disifatkan sedemikian kerana proses membaca menjadikan seseorang itu lebih fokus dan dapat mendisiplinkan diri. Dengan itu, prestasi diri akan meningkat dan secara tidak langsung dan kualiti kehidupan juga akan bertambah baik.\n\u00a0\nBukan sesuatu perkara yang pelik apabila seseorang itu dapat menguasai pelbagai bahasa hanya dengan membaca buku. Dengan membaca buku, seseorang itu bukan sahaja seolah-olah seperti berada di luar negara tetapi pada masa yang sama boleh mempelajari bahasa yang terdapat di negara itu. Untungnya membaca ialah apabila kemahiran bahasa dapat ditingkatkan dan bonus sekiranya seseorang itu dapat berkomunikasi dengan baik ketika berhadapan dengan penutur bahasa tersebut.\n\u00a0\nMembaca buku boleh membina pemahaman dan menambah kesedaran mengikut situasi. Dengan itu, seseorang yang membaca akan sentiasa berfikir dan pada masa yang sama mencari jalan penyelesaian. Dengan kata lain, seseorang dapat meningkatkan kemahiran menganalisis apabila individu tersebut berusaha untuk menyelesaikan masalah setelah situasi yang difahaminya diterjemahkan kepada realiti.\n\u00a0\nBuku juga boleh mendorong seseorang berfikir secara positif menerusi kandungan yang bermotivasi. Dengan cara itu, jiwa akan menjadi lebih tenang, lebih kuat dan berkeyakinan untuk meneruskan kelangsungan hidup.\nBuku turut mengalami transformasi, iaitu dari fizikal kepada digital, namun sebagaimana yang dinyatakan oleh Stora Enso, sebuah syarikat yang menghasilkan rumusan yang berasaskan kayu termasuk kertas; buku fizikal tetap mempunyai peminatnya yang tersendiri. Menurutnya semakin banyak aplikasi digital diperkenalkan, maka semakin tinggi nilai yang dimiliki oleh sebuah buku fizikal. Kenyataan itu dibuat berdasarkan kajian yang dilakukan oleh syarikat itu bersama sebuah syarikat penyelidikan Opticom International pada tahun 2018 bagi meninjau pasaran buku fizikal dan buku digital khususnya dalam format e-buku dan buku audio di 13 buah negara terpilih yang mewakili benua Asia, Eropah dan Amerika Utara.\nDalam kajian tersebut didapati bahawa e-buku dan buku audio lebih bersifat pelengkap atau pilihan kepada pengguna. Hal ini adalah kerana penjualannya lebih tertumpu pada segmen pendidikan dan profesional. Buku fizikal masih lagi dianggap sebagai keperluan kerana apabila seseorang memegangnya, buku fizikal tersebut dapat memberikan suatu perasaan yang berbeza berbanding dengan buku digital yang hanya boleh \u201cditonton\u201d. Nilai sesebuah buku fizikal terakam dalam bentuk pengalaman khususnya dari sudut \u201csentuhan\u201d apabila dapat merasai sendiri muka hadapan, kualiti kertas yang digunakan, dan jenis kulit yang digunakan.\nBagi sesetengah orang yang mementingkan nilai sentimen, buku fizikal merupakan suatu perkara yang mesti ada. Selain melalui sentuhan, nilai sentimen turut meliputi pengendalian objek tertentu dalam masa dan tempat tertentu. Perasaan mengeluarkan buku dari rak buku juga termasuk dalam nilai sentimen kerana dapat memberi keyakinan dan pengalaman yang unik kepada pembaca atau pemilik buku tersebut. Peminat buku fizikal tidak melihat buku sebagai ukuran kepada kualiti semata-mata kerana buku juga turut melibatkan rekod atau catatan tentang sejarah dan masa tertentu. Buku fizikal dilihat seolah-olah seperti bernyawa kerana kandungannya ibarat darah yang mengalir daripada minda kepada tangan dan sentuhan dari kulit ke kulit.\nSememangnya buku memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Tidak kira sama ada dalam format fizikal mahupun digital, fungsi buku tetap tidak berubah, iaitu menjadi wadah kepada pelestarian ilmu. Buku yang baik bukan sahaja akan memajukan bangsa, malah turut mempengaruhi corak pemikiran sesuatu bangsa untuk menggerakkan negara ibarat kata-kata penakluk terkenal Perancis, Napoleon Bonaparte bahawa empat orang penulis lebih ditakutinya berbanding dengan 1000 laras senapang kerana kuasa dan pengaruh yang ada pada kandungan sesuatu buku itu." "E-Buku Madani dan Peranan Perbadanan Kota Buku\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Setelah tampuk pemerintahan negara dikendalikan oleh Kerajaan Perpaduan, pelbagai perkara dan inisiatif dilakukan untuk menjamin kelangsungan dan kesejahteraan rakyat di negara Malaysia.\nBaru-baru ini, konsep terbaharu \u201cMalaysia Madani\u201d diluncurkan oleh YAB Perdana Menteri pada 19 Januari 2023 sebagai kerangka dasar negara, yakni sebuah kerangka dasar yang merangkumi lapan sasaran utama. Antaranya termasuklah, ekonomi dan kewangan, perundangan, institusi, pendidikan, kemasyarakatan, budaya, bandar, dan luar bandar.\nSementara Madani pula merujuk kemapanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Menyentuh perihal Malaysia Madani, hari ini dalam temu bual Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) menampilkan Encik Mohd Khair Ngadiron yang merupakan seorang Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kota Buku dan Puan Adibah Omar yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku bagi membincangkan topik Kota Buku: Platform e-Buku sebarkan Malaysia Madani.\nTirai perbincangan ini dibuka dengan penjelasan daripada Encik Mohd Khair Ngadiron berkenaan konsep Madani. Menurut beliau, konsep Madani bukanlah sesuatu yang baharu kerana perkataan Madani sudah lama tercatat di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat.\n\u201cApabila berbicara tentang Madani, kita tahu sebelum ini negara menggunakan slogan Wawasan 2020, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan sekarang masyarakat Madani, yang membezakan amanat dan ucapan Perdana Menteri pada ketika itu,\u201d jelas beliau.\nTambah beliau, penghasilan buku Madani sememangnya membantu rakyat Malaysia untuk memahami kerangka dasar kerajaan dengan lebih mudah dan berkesan. Pada masa yang sama, Encik Mohd Khair Ngadiron turut menyatakan bahawa Perbadanan Kota Buku juga menyediakan akses e-buku bagi buku Malaysia Madani, dan kemudian beliau menyatakan bahawa pihak Perbadanan Kota Buku sedang merancang untuk penghasilan buku audio dan e-braille bagi memastikan tidak ada pihak yang tercicir, selain merancakkan lagi penyebaran Malaysia Madani ke seluruh pelosok Malaysia.\n\u201cKita mengharapkan selepas ini akan ada banyak diskusi, pentafsiran kepada perkara ini dan antara perkara paling penting adalah daya cipta, salah satu elemen dalam Madani ini. Kita mengharapkan generasi muda akan melihat ini sebagai satu bentuk baharu, yakni usaha yang berterusan untuk penambahbaikan negara Malaysia,\u201d kata Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kota Buku mengulas harapan negara dalam usaha mengangkat Malaysia ke persada antarabangsa supaya lebih dihormati.\nSementara Puan Adibah Omar pula membuka tirai perkongsiannya dengan menyatakan peranan dan fungsi Perbadanan Kota Buku. Menurut beliau, Perbadanan Kota Buku merupakan sebuah agensi yang berperanan sebagai nukleus perbukuan, dan kemudian menjadi hab untuk memastikan kesemua pemain industri berdaya saing dan terus-menerus menghasilkan pembaca dalam Malaysia seiring aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia.\nBeliau turut menjelaskan bahawa e-buku Malaysia Madani boleh diakses atau diperoleh melalui laman sesawang www.bookcapital.my yakni merupakan laman sesawang Kota Buku Digital Malaysia. Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa sistem digital yang disediakan melalui laman sesawang tersebut dilengkapi beberapa kemudahan kepada pembacanya.\n\u201cApabila e-buku dihasilkan, kita mahu memberikan pengalaman pengguna yang sangat baik kepada semua rakyat Malaysia. Dalam tempoh terdekat ini, kita akan menambah beberapa ciri-ciri yang terkini, termasuklah audio dalam e-buku ini\u201d.\nPada akhir perkongsian, beliau turut menyatakan harapan Perbadanan Kota Buku yang bukan sekadar ingin menerajui inisiatif perbukuan digital di Malaysia dan rantau Asia, malah memastikan ketersampaian akses e-buku dapat dinikmati oleh sesiapa sahaja walau di mana pun mereka berada." "Inovasi dan Kreatif Melahirkan Generasi Berdaya Saing\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 \u201cInovasi telah menukar cara hidup masyarakat kini dan menjadikan kehidupan manusia lebih mencabar dan berdaya saing.\u201d\nMenurut Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, pembangunan inovasi dan kreativiti juga telah menjadikan beberapa buah negara semakin menonjol seperti Korea Selatan dan Finland.\nMaka demikian, baginda menyeru semua rakyat, terutamanya anak muda agar bergerak ke hadapan dan bersiap siaga melengkapkan diri dengan menjadikan inovasi dan kreativiti sebagai hala tuju baharu.\nDemikianlah titah Raja Muda Perlis Tuanku selepas berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bernilai RM96 600 secara tunai kepada 138 orang penerima dalam kalangan anak kariah Kampung Baroh dan Kampung Santan dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Al-Saadah, Kampung Baroh.\nTuanku Syed Faizuddin Putra turut bertitah, \u201cTransisi global dengan teknologi telekomunikasi dan Internet menuntut banyak cabaran supaya golongan pelajar sentiasa cakna dengan perkembangan pendidikan. Oleh itu, golongan pelajar perlu memanfaatkan sumber dalam talian serta pantas mempelajari aplikasi terkini bagi mengikuti pengajian dengan lebih efektif.\u201d" "DBP dan UiTM Kedah Merangka Kerjasama dalam Bidang Penerbitan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bertempat di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka, pada petang ini, \u00a0 telah berlangsung \u00a0pertemuan antara wakil dari Unit Penerbitan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kedah, yang diketuai oleh Pensyarah\u00a0Fakulti Pengurusan Perniagaan, YBrs. Dr. Azyyati Anuar, dengan Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Penerbitan, YBrs. Tuan Haji Razali Che Mat.\nAntara tujuan pertemuan tersebut adalah untuk membincangkan dengan lebih lanjut berkaitan dengan kerjasama antara Unit Penerbitan UiTM Cawangan Kedah dengan pihak DBP, terutamanya melalui Jabatan Penerbitan yang melibatkan proses penerbitan buku ilmiah dan juga karya kreatif\nMenurut YBrs.Tuan Haji Razali Che Mat dalam ucapan alu-aluannya, DBP memfokuskan tentang kaedah percetakan atas permintaan yang bertujuan untuk mengoptimumkan kos percetakan yang semakin meningkat sejak belakangan ini. Katanya, pendekatan tersebut amat penting dilakukan oleh syarikat penerbit\u00a0terutamanya \u00a0ketika industri perbukuan fizikal sedang bersaing dengan perbukuan digital.\n\nDBP turut menekankan konsep penyuburan ilmu, iaitu pendekatan yang mampu memberikan manfaat kepada para pembaca. Hal ini disebabkan fungsi utama penubuhan DBP adalah berbeza daripada syarikat atau penerbit lain\nSementara itu, YBrs. Dr. Azzyati menjelaskan bahawa Unit Penerbitan UiTM Cawangan Kedah merupakan unit yang bernaung di bawah Unit Jaringan Industri UiTM yang bertanggungjawab untuk menjalinkan hubungan kerjasama dengan pihak industri seperti DBP. Selain itu, unit tersebut turut berhasrat untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan bidang keusahawanan buku, seiring dengan situasi semasa dalam dunia penerbitan buku.\nJelas beliau, selain berhasrat untuk menjalinkan hubungan kerjasama berkaitan dengan penerbitan buku, unit tersebut turut berhasrat untuk terlibat dalam penyediaan buletin dan juga penganjuran bengkel penulisan pada masa akan datang.\nMengulas dengan lebih lanjut, YBrs. Tuan Haji Razali turut berkata bahawa pada masa ini, penulis harus berani untuk menjual karya mereka sendiri kepada pembaca dan tidak bergantung sepenuhnya pada penerbit. Hal ini dikatakan demikian kerana penulis tersebut lebih mengetahui kekuatan dalam kandungan buku yang mereka hasilkan.\nTurut hadir pada sesi pertemuan tadi ialah Ketua Bahagian Pengeluaran dan Penyelarasan Penerbitan, Puan Mariati Josepha Mustafa; Ketua Bahagian Multimedia, Puan Naimah Yusof; Ketua Bahagian Harta Intelek, \u00a0Shah Rizal Azwan Ghazali; Ketua Editor Buku Bahasa, Tengku Fauziah Ku Mat; Timbalan Ketua Editor Majalah, Puan Aninah Janang; Editor Kanan Bahagian Buku Umum, Puan Huznah Sa\u2019it dan juga wakil dari Unit Penerbitan UiTM Cawangan Kedah." "Myanmar selepas Dua Tahun Kudeta Tatmadaw\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada 1 Februari 2023, maka genaplah dua tahun Tatmadaw yang dipimpin oleh Jeneral Min Aung Hlaing melancarkan kudeta di Myanmar. Kudeta tersebut menyaksikan Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi; Presiden Myanmar, U Win Myint dan beberapa pegawai kanan Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) ditahan oleh pihak tentera.\nMenurut laporan, sebanyak 24 jawatan menteri dan timbalan menteri di bawah pimpinan Suu Kyi dilucutkan jawatan oleh pihak tentera, selain menamakan 11 orang pengganti untuk menyandang jawatan bagi portfolio kewangan, kesihatan, penerangan, pertahanan, hal ehwal luar negara dan dalam negeri. Pada masa yang sama, Suu Kyi turut ditahan malah didakwa atas pelbagai kesalahan, seperti pelanggaran undang-undang pilihan raya dan rahsia negara sehinggalah hasutan dan rasuah. Akibatnya, segala tuduhan tersebut telah menghalang Suu Kyi untuk kembali ke dalam arena politik negara.\nWin Myint pula didakwa di bawah Undang-undang Pengurusan Bencana Kebangsaan. Pada 5 Februari 2021, Win Htein yang merupakan orang kanan Suu Kyi turut ditahan oleh tentera. Rentetan itu, Amerika Syarikat (AS); Norway; Jepun; Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres; Perdana Menteri Britain, Boris Johnson; Presiden Majlis Eropah, Charles Michel dan Menteri Luar Australia, Marise Payne mengutuk kudeta dan penahanan pemimpin Myanmar, serta menggesa semua pihak untuk menerima keputusan pilihan raya umum (PRU) 2020. Presiden AS, Joe Biden menandatangani perintah eksekutif untuk mengenakan sekatan terhadap pemimpin tentera Myanmar pada 10 Februari 2021. Sekatan itu dilakukan sedemikian untuk menghalang junta tentera daripada mengakses dana kerajaan bernilai A.S.$1 bilion di AS.\n\nPada 16 April 2021, Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Republik Kesatuan Myanmar yang terdiri daripada pemimpin antikudeta, etnik minoriti dan ahli Parlimen dipilih untuk membentuk satu kerajaan. Dalam struktur pemerintahan NUG, Mahn Winn Khaing Thann yang merupakan etnik Karen dilantik sebagai Perdana Menteri, manakala Win Myint dan Suu Kyi masih mengekalkan jawatan masing-masing walaupun telah ditahan oleh pihak tentera. Timbalan Presiden pula ialah Duwa Lashi La yang juga merupakan Presiden Majlis Perundingan Nasional Kachin.\nBagi melancarkan perang revolusi menentang pemerintahan Tatmadaw, NUG menubuhkan sayap bersenjatanya yang dikenali sebagai Pasukan Pertahanan Rakyat pada 5 Mei 2021. Pasukan tersebut mempunyai 60 ribu orang anggota tentera. Sejak kudeta, sebanyak 2500 orang awam telah dibunuh oleh pihak tentera, manakala 16 500 orang lagi ditahan. Setakat Disember 2022 pula, lebih 13 ribu orang awam dan 143 wartawan masih lagi ditahan oleh tentera. Dianggarkan sebanyak 1.4 juta orang telah kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran itu sejak kudeta menyebabkan kebanyakan mereka tinggal di kem sementara dalam hutan.\nPada 6 Disember 2021, Suu Kyi dijatuhi hukuman empat tahun penjara atas tuduhan menghasut dan melanggar Undang-undang Pengurusan Bencana Alam Negara. Win Myint juga dipenjarakan selamat empat tahun atas pertuduhan yang sama. Walau bagaimanapun, hukuman penjara dikurangkan kepada dua tahun sahaja. Suu Kyi sekali lagi dikenakan hukuman penjara selama empat tahun selepas didapati bersalah pada 10 Januari 2022 atas dua pertuduhan yang dikaitkan dengan mengimport dan memiliki alat komunikasi secara haram dan melanggar peraturan COVID-19.\nPada April 2022, Suu Kyi dikenakan hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah atas pertuduhan rasuah yang melibatkan penerimaan 11.4 kg emas dan bayaran tunai berjumlah A.S.$600 ribu. Beliau berdepan dengan tuduhan melibatkan 12 kes rasuah. Hukuman yang dijatuhkan oleh hakim pada April 2022 merupakan kes rasuah pertama Suu Kyi, yakni menjadikan 11 kes rasuah yang masih dalam proses perbicaraan. Mahkamah Junta pada 15 Ogos 2022 menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun terhadap Suu Kyi atas pertuduhan empat kes rasuah.\nSuu Kyi dikenakan hukuman penjara selama tiga tahun oleh mahkamah junta pada 2 September 2022 kerana melakukan penipuan dalam pilihan raya 2020. Pada Oktober 2022 pula, Suu Kyi dikenakan lagi hukuman enam tahun penjara atas dua kes rasuah selepas didapati menerima rasuah A.S.$500 ribu daripada seorang hartawan tempatan, Maung Weik. Hukuman penjara selama tujuh tahun dikenakan terhadap Suu Kyi pada 30 Disember 2022 kerana lima pertuduhan rasuah menjadikan tempoh hukuman penjara terhadapnya meningkat sebanyak 33 tahun.\nPRU Myanmar diadakan pada 8 November 2020 dengan penglibatan 5639 calon yang mewakili lebih daripada 90 parti, termasuklah 1106 calon daripada NLD dan 1089 wakil Union Solidarity and Development Party (USDP). Berdasarkan keputusan pilihan raya yang dikeluarkan pada 13 November 2020, NLD telah memenangi sebanyak 396 kerusi, USDP hanya 30 kerusi dan 11 parti politik etnik memenangi 47 kerusi. Walau bagaimanapun, pihak tentera tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya dan menuduh proses pilihan raya 2020 dilaksanakan secara tidak adil kerana didakwa mempunyai unsur penipuan.\nPihak tentera mendakwa bahawa terdapat 11 juta kes penipuan pemilih berlaku ketika pilihan raya dan mahu siasatan dijalankan. Walau bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan menurut pihak tentera, telah gagal menyelesaikan penyelewengan daftar pemilih dalam pilihan raya, sekali gus menjustifikasikan kudeta. Pada hari kudeta, pihak tentera mengisytiharkan bahawa keputusan PRU 2020 sebagai tidak sah. Pada hakikatnya, tentera merampas kuasa kerana bimbang kehilangan pengaruh memandangkan NLD mendapat sokongan besar rakyat Myanmar berbanding dengan parti protentera, iaitu USDP.\nSelain itu, pindaan perlembagaan yang akan mengurangkan pengaruh tentera dalam pentadbiran negara turut menjadi faktor kudeta berlaku. Pembentukan kerajaan baharu yang diterajui NLD selepas PRU yang diadakan pada 8 November 2015 tidaklah bermakna pengaruh tentera hilang secara total. Kerajaan yang terbentuk terpaksa berkongsi kuasa dengan pihak tentera walaupun dalam PRU 2015, NLD memenangi 255 daripada 440 kerusi untuk Pyithu Hluttaw (Dewan Rakyat) dan 135 daripada 224 kerusi bagi Amyotha Hluttaw (Dewan Negara). USDP hanya memenangi 30 kerusi untuk Pyithu Hluttaw, manakala 11 kerusi bagi Amyotha Hluttaw.\nHal ini berlaku kerana Perlembagaan 2008 memberikan tentera kawalan terhadap kementerian dalaman, perbatasan dan pertahanan, selain memperuntukkan 56 kerusi untuk tentera di Amyotha Hluttaw dan 110 kerusi di Pyithu Hluttaw tanpa bertanding dalam pilihan raya. Pada Januari 2019, Parlimen Myanmar mengundi bagi meluluskan peringkat pertama pembentukan satu jawatankuasa yang akan meminda perlembagaan tersebut. Namun begitu, langkah terbabit tidak disenangi oleh pihak tentera kerana boleh menghakis pengaruh mereka dalam Parlimen dan pentadbiran negara.\nPindaan perlembagaan juga merupakan satu daripada usaha Suu Kyi untuk meraih sokongan rakyat terhadap NLD, terutamanya selepas pilihan raya kecil 2017 dan 2018, selain menunaikan janji PRU 2015. Pilihan raya kecil 2017 dan 2018 membuktikan sokongan terhadap NLD semakin lemah, khususnya di kawasan etnik minoriti. Dalam pilihan raya kecil 2018, sebanyak 13 kerusi dipertandingkan untuk Pyithu Hluttaw, Amyotha Hluttaw dan perhimpunan daerah, namun NLD hanya memenangi tujuh kerusi dan kalah di enam kawasan. USDP memenangi 3 kerusi, selebihnya dimenangi oleh parti politik berasaskan etnik minoriti.\nSuu Kyi yang dilihat terlalu rapat dengan tentera menyebabkan etnik minoriti yang masih berdepan dengan penindasan menolak NLD. Pengusiran Muslim Rohingya oleh pihak tentera juga berlaku ketika NLD memerintah Myanmar. Pengusiran terbesar berlaku pada tahun 2017, apabila sebanyak 773 ribu orang Rohingya termasuklah lebih daripada 400 ribu kanak-kanak melarikan diri ke Cox\u2019s Bazar, Bangladesh. Sebelum itu, orang Rohingya juga berdepan dengan penindasan pihak tentera pada tahun 1978, 1991\u20131992 dan tahun 2016. Setakat Oktober 2022, sebanyak 943 ribu pelarian Rohingya menetap di Ukhiya dan Teknaf. Di Kutupalong-Balukhali sahaja, terdapat sebanyak 635 ribu pelarian Rohingya.\nBagi meredakan kemarahan rakyat, Min Aung Hlaing berjanji pada tahun 2021 bahawa tentera akan memerintah selama setahun sahaja, mengadakan PRU dan akan menyerahkan kembali kuasa kepada pemerintahan awam. Perintah darurat pula akan ditarik balik pada Ogos 2023. Berkenaan pilihan raya, beliau tidak menyatakan sebarang tarikh khusus untuk mengadakan pilihan raya baharu. Namun begitu, Min Aung Hlaing hanya mengatakan bahawa akan mengadakan pilihan raya jika negara berada dalam keadaan aman dan stabil, selain menekankan bahawa pembaharuan perlu dilakukan terhadap sistem pilihan raya.\nSejak kudeta, keadaan politik Myanmar tidak stabil. Tatmadaw menghadapi penentangan daripada NUG melalui sayap bersenjatanya, Pasukan Pertahanan Rakyat. Kumpulan bersenjata etnik minoriti turut meningkatkan serangan terhadap tentera selepas kudeta antaranya Tentera Kemerdekaan Kachin, Tentera Pembebasan Kebangsaan Karen, Tentera Perikatan Demokratik Kebangsaan Myanmar yang terdiri daripada etnik Kokang, Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta\u2019ang, Tentera Karenni dan Pasukan Pertahanan Chinland.\nMin Aung Hlaing juga didapati tidak menepati janji kerana tentera telah pun memerintah Myanmar lebih daripada setahun. Setelah berkuasa, bukan mudah untuk pihak tentera melepaskan genggamannya jika dilihat sejarah Myanmar sebelum ini. Tatmadaw memerintah Myanmar sejak Jeneral Ne Win melancarkan kudeta pada 2 Mac 1962. Bagi menghentikan kebangkitan rakyat pada 8 Ogos 1988 yang dipimpin Aung San Suu Kyi atau lebih dikenali sebagai Kebangkitan 8888, Jeneral Saw Maung menubuhkan State Law and Order Restoration Council (SLORC) pada 18 September 1988. Jeneral Than Shwe dilantik sebagai Pengerusi SLORC, Perdana Menteri, Ketua Turus Angkatan Tentera dan Menteri Pertahanan bagi menggantikan Jeneral Saw Maung pada 23 April 1992.\nSLORC digantikan dengan State Peace and Development Council (SPDC) pada 15 November 1997. Jeneral Than Shwe telah memerintah Myanmar melalui SLORC dan SPDC dari tahun 1992 hingga tahun 2011. Pendemokrasian bermula pada tahun 2010 apabila PRU diadakan. Namun begitu, pendemokrasian ini tidak bertahan lama kerana berlaku kudeta pada tahun 2021. Oleh sebab itu, janji Min Aung Hlaing untuk mengadakan PRU bagi membolehkan pemerintahan awam dikembalikan dipandang secara sinis. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak tentera melancarkan kudeta selepas pilihan raya 1960, enggan menyerahkan kuasa selepas NLD memenangi pilihan raya 1990 dan tidak menghormati keputusan pilihan raya 2020. Bagaimanakah Tatmadaw mampu menepati janji kerana selama ini mereka sering melanggar janji?\nPenulis berkelulusan Sarjana Analisis Strategi dan Keselamatan, Universiti Kebangsaan Malaysia." "Kunjungan Sulung Ketua Pengarah Baharu ke DBP Wilayah Utara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBukit Mertajam \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) yang lokasinya terletak di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang menerima kunjungan sulung daripada YBhg. Dr. Hazami Jahari selaku Ketua Pengarah (KP) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang baharu pada 26 Januari 2023. Beliau yang diiringi oleh Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Encik Sharrul Rizal Hashim tiba di DBPWU pada pukul 9.00 pagi. Pengarah DBPWU, Puan Nurul Julia Alani Henry dan Timbalan Pengarah (Sastera), Puan Khairul Anum Mohd Ali dan Timbalan Pengarah (Bahasa), Encik E Pian Pro Pol menyambut ketibaan YBhg. Dr. Hazami Jahari, kemudian bersama-sama karyawan DBPWU bagi mendengar amanat beliau yang baru seminggu dilantik sebagai Ketua Pengarah DBP.\nSebelum itu, Pengarah DBPWU merakamkan ucapan terima kasih kepada YBhg. Dr. Hazami kerana dalam urusan tugas rasmi di Pulau Pinang, beliau sanggup meluangkan masa untuk menyantuni karyawan di DBPWU. Kemudian, Pengarah DBPWU menyampaikan taklimat ringkas tentang sumber tenaga, keadaan dan peralatan pejabat, serta program terdekat yang bakal dilaksanakan oleh DBPWU di empat negeri di utara tanah air, iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Ketua Pengarah turut dimaklumkan tentang ruang dan kemudahan pejabat yang perlu dibuat pengubahsuaian.\nDalam pembukaan ucapannya, YBhg. Dr. Hazami mengimbau kenangan beliau semasa dalam tempoh pengajian peringkat PhD di Universiti Sains Malaysia (USM).\n\u201cDBPWU banyak meninggalkan kenangan manis kepada saya, terutamanya semasa saya belajar di USM. Ketika itu, saya menyewa rumah di Bandar Perda ini dan sering datang ke sini untuk membuat rujukan di Pusat Dokumentasi Melayu (PDM). Oleh itu, saya berterima kasih kepada pegawai DBPWU yang membantu saya pada ketika itu. Oleh sebab itulah, apabila ada tugas rasmi di sini, saya mengambil peluang tersebut untuk mengunjungi pejabat ini,\u201c demikian kata Dr. Hazami yang berkongsi kenangannya yang pernah tinggal di Bandar Perda semasa belajar di USM.\nDalam amanat beliau kepada karyawan DBPWU, YBhg. Dr. Hazami berharap agar projek atau aktiviti yang dilaksanakan perlu melibatkan kerjasama dengan pihak lain, terutamanya persatuan penulis, badan bukan kerajaan dan pertubuhan lain. Tujuannya adalah untuk memastikan aktiviti tersebut dapat memberikan impak yang besar hasil jalinan kerjasama yang strategik dengan pelbagai pihak. Kerjasama itu sama ada dari segi tanggungan kos, sumber tenaga atau kepakaran.\nUjar beliau, \u201cYang paling penting, pihak kita perlu memperbaik hubungan dengan mana-mana pihak sekiranya ada salah faham atau pertikaian yang berlaku sebelum ini. Kembalikan keyakinan pihak luar terhadap peranan utama DBP sebagai satu-satunya institusi yang mengembangkan, memartabatkan dan menyebarluaskan hal kebahasaan dan kesusasteraan.\u201d\nYBhg. Dr. Hazami\u00a0 juga mengingatkan karyawan DBPWU agar bekerja dalam keadaan yang bersemangat untuk mengangkat citra DBP sebagai badan peneraju aktiviti bahasa dan sastera Melayu. Selain itu, beliau berharap agar wujudnya suasana kerja yang harmoni dalam kalangan staf dan juga antara staf dengan pihak luar, lebih-lebih lagi semasa melaksanakan aktiviti.\nMenurut YBhg. Dr. Hazami, beliau akan menyampaikan hasrat dan hala tuju DBP di bawah kepimpinannya dalam masa terdekat. Namun begitu, perkara utama yang akan dilaksanakan oleh beliau adalah menaikan semangat bekerja dalam kalangan staf DBP, bekerja sebagai satu pasukan dan tidak hanya tertumpu pada pada projek atau aktiviti bahagian masing-masing.\n\u201cLaksanakan program yang berimpak besar, tetapi matlamatnya haruslah tidak lari daripada apa-apa yang digariskan dalam Perancangan Strategik DBP,\u201c demikian jelas YBhg. Dr. Hazami mengakhiri amanatnya di hadapan 13 karyawan DBPWU yang berlangsung di Sudut Penulis. Sebelum meninggalkan DBPWU, YBhg. Dr. Hazami menandatangani buku pelawat dan kemudian bergambar kenangan bersama-sama karyawan DBPWU." "Bengkel Asas Pengacaraan Majlis Rasmi dan Kesantunan Mendapat Sambutan Hangat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nGeorge Town \u2013 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Mashoor (L) telah mengadakan Bengkel Asas Pengacaraan Majlis Rasmi dan Kesantunannya, yang dikendalikan oleh Cikgu Iswandy Ishak selaku guru kaunselor dengan kerjasama jawatankuasa guru kepimpinan pengawas sekolah.\nSebanyak 33 orang barisan kepimpinan pelajar yang terlibat dengan bengkel ini, iaitu 13 orang pengawas dan 20 orang Pembimbing Rakan Sebaya Tingkatan 4. Program yang disirami ilmu seluas lautan ini telah dipimpin dan disampaikan oleh Cikgu Nurul Aini Mohd Yunus dari Kolej Vokasional Batu Lanchang.\nTujuan perkongsian ilmu tersebut adalah sebagai santapan minda kepada pelajar, terutamanya yang menyimpan impian dan hajat untuk sentiasa terpilih dan menjadi kepercayaan warga guru untuk mengendalikan majlis rasmi di sekolah khususnya.\nMenurut Cikgu Nurul Aini, pemimpin pelajar pada zaman ini perlu diberi pendedahan dengan pelbagai ilmu seiring dengan dunia tanpa sempadan. Hal ini demikian kerana pelajar inilah yang bakal menerajui tampuk kepimpinan dunia akan datang.\nBengkel asas pengacaraan ini merupakan satu lonjakan buat pelajar untuk terus tampil ke hadapan membuktikan mereka berani menyahut apa-apa jua cabaran, terutamanya dalam mengendalikan majlis sebagai pengacara.\nSebagai wadah kemajuan barisan kepimpinan pelajar dalam hal mengendalikan majlis, bengkel ini telah dilaksanakan dengan jayanya. Pendedahan asas dan kesantunan yang wujud dalam mengacara majlis, seharusnya dikuasai oleh setiap personal yang menerajui jawatankuasa ini.\nAntara lima kriteria asas pengacaraan majlis yang wajib pelajar kuasai, termasuklah ciri pengacara, penyediaan teks, vokal dan teknikal, cara penyampaian, serta keperibadian pengacara majlis itu sendiri.\nPada masa yang sama, Cikgu Nurul turut berkongsi tentang kesantunan dalam pengacaraan, yakni melibatkan cara berbahasa, kesopanan dalam memberikan pesanan dan pengumuman kepada audiens, beradab sewaktu menyebut nama dan jawatan di salutasi dan bersifat mesra dengan majlis supaya tidak terburu-buru untuk mengakhiri majlis yang sedang dikendalikan. Hal ini akan menunjukkan kewibawaan seorang pengacara majlis dan sentiasa menjadi rebutan para guru untuk memberi kepercayaan kepada pelajar.\nMengulas lanjut, bengkel ini dilihat dapat memberikan galakan dan semangat kepada pemimpin pelajar untuk terus berani tampil ke hadapan, terutamanya dalam mengendalikan majlis sebagai pengacara. Kekuatan bakat yang ada pada pelajar SMKA Al-Mashoor (L) ini merupakan tunjang utama kecemerlangan buat sekolah itu sendiri.\nPada penghujung bengkel ini, seorang pelajar, iaitu Airiez Nazhan Shaiful Shahrulizam telah tampil untuk menjadi pengacara majlis rasmi secara spontan sebagai penutup acara bengkel tersebut. Bakat dan keterampilannya sangat menyerlah dan turut\u00a0 diserikan dengan sokongan daripada rakan seperjuangan yang sama-sama menjayakan majlis penutupan tersebut. Bengkel Asas Pengacaraan Majlis Rasmi dan Kesantunannya telah ditutup dengan rasminya oleh tuan Pengetua SMKA Al-Mashoor (L), Ustaz Suhaimi Othman." "Kunjungan Hormat DBP kepada Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGeorgetown \u2013 Pada 26 Januari 2023, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan bersama-sama Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari telah mengadakan kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama (TYT), Yang di-Pertua (YDP) Negeri Pulau Pinang, Tun Dato\u2019 Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak. Kunjungan hormat tersebut diadakan di Kompleks Pejabat TYT, Seri Mutiara.\nSebelum sesi bergambar dengan TYT, YDP Negeri Pulau Pinang, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan Dr. Hazami Jahari menandatangi buku pelawat. Tun Dato\u2019 Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak telah menerima watikah sebagai TYT YDP Pulau Pinang pada 17 Disember 2021. Beliau menzahirkan kegembiraannya menerima kunjungan rombongan daripada DBP kerana DBP mengingatkan beliau tentang era tahun 1980-an\u00a0 ketika beliau terlibat sebagai ahli jawatankuasa penggubalan istilah diplomatik dan hubungan antarabangsa. Pada masa yang sama, Tun Dato\u2019 Seri Utama Ahmad Fuzi berkongsi pengalamannya berkhidmat sebagai duta di lima buah negara, termasuklah ilmu dan pengalamannya sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar.\nDalam kunjungan hormat tersebut, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menjelaskan secara ringkas tentang sejarah dan matlamat penubuhan DBP, termasuklah peranan utama DBP sebagai badan peneraju dalam usaha memartabatkan, mengembangkan dan menyebarluaskan bahasa Melayu dan persuratan Melayu. Beliau turut memaklumkan pejabat DBP Wilayah Utara yang terletak di Bandar Perda, Pulau Pinang.\nBerkaitan dengan pelaksanaan program kebahasaan dan persuratan Melayu, khususnya di Pulau Pinang, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menyatakan DBP akan bekerjasama dengan kerajaan negeri Pulau Pinang menganjurkan Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang. Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang tersebut merupakan yang julung kali diadakan dan majlis penganugerahannya dijangka akan berlangsung pada September tahun ini. TYT YDP Pulau Pinang sendiri akan diberi penghormatan untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang anugerah, terutama Anugerah Sasterawan Negeri Pulau Pinang.\nSelain itu, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan turut menyatakan hasrat DBP untuk mengadakan acara khusus dengan TYT YDP Negeri Pulau Pinang yang direncanakan pada setiap tahun. Programnya mungkin berbentuk deklamasi puisi dan acara kebudayaan yang melibatkan kehadiran TYT\u00a0 Tun Dato\u2019 Seri Utama Ahmad Fuzi sebagai tetamu kehormat. Mengambil kira pengalaman yang luas dan ilmu yang mendalam tentang hubungan diplomatik dengan negara luar serta minat beliau terhadap sastera dan bahasa Melayu, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan mengutarakan hasrat untuk mengundang TYT Tun Dato\u2019 Seri Utama Ahmad Fuzi untuk menyampaikan Syarahan Perdana anjuran DBP.\nDaripada pihak TYT Tun Dato\u2019 Seri Utama Ahmad Fuzi, beliau mencadangkan agar DBP untuk merangka program yang melibatkan golongan anak muda agar mengetahui dan meminati seni dan budaya lama, misalnya seni zapin dan boria. Dalam hal kebahasaan juga\u00a0 TYT Tun Dato\u2019 Seri Utama Ahmad Fuzi menampakkan keperihatinannya tentang pengantarabangsaan bahasa Melayu. Oleh itu, beliau amat berharap tampuk kepimpinan pada masa ini dapat meneruskan langkah berucap menggunakan bahasa Melayu dalam acara besar pada peringkat antarabangsa. Malah DBP harus merencanakan program berkaitan bahasa Melayu yang melibatkan penyertaan daripada negara luar.\nKunjungan hormat DBP kepada TYT YDP Negeri Pulau Pinang turut disertai oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato\u2019 Paduka Mohamed, Pengarah DBP Wilayah Utara, Puan Nurul Julia Alani Henry, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Encik Sharrul Rizal Hashim dan Timbalan Pengarah (Sastera) Puan Khairul Anum Mohd Ali dan Timbalan Pengarah (Bahasa) DBP Wilayah Utara, Encik E Pian Pro Pol." "UiTM Merbok Sambut Baik Kerjasama MoU\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani\u00a0\u2013 Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah telah memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) yang melibatkan Kelab Bola Sepak Puteri Jaya Kids dan Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan Negeri Kedah (PSSGM) dalam satu majlis yang berlangsung di Bilik Seminar Kaunseling UiTM di Merbok semalam.\nTujuan memorandum tersebut direncanakan adalah untuk melakukan hubungan kerjasama dalam penganjuran aktiviti yang dapat mewujudkan nilai tambah kepada pembangunan pelajar dan kakitangan UiTM Cawangan Kedah.\nMoU tersebut ditandatangani oleh Rektor UiTM, Profesor Dr. Roshima Said dan Profesor Madya Dr. Azhari Md Hashim selaku Timbalan Rektor (Penyelidikan, Jaringan Industri dan Masyarakat) dan Alumni bagi mewakili UiTM.\nKelab Bola Sepak Puteri Jaya Kids diwakili oleh pengurusnya, Encik Azam Fansuri Aziz dan Presidennya, Encik Zubir Othman. Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan Negeri Kedah pula diwakili oleh Encik Kholid Salleh selaku Timbalan Pengerusi dan Encik Mohamed Faid Musa selaku Yang Dipertua PSSGM.\nRektor UiTM Cawangan Kedah, Profesor Dr. Roshima dalam ucapannya berkata, UiTM Cawangan Kedah menyambut baik kerjasama dengan penggiat sukan bola sepak dan seni silat. Program sebegini dipercayai dapat membantu memberikan nilai tambah dalam diri pelajar melalui aktiviti kokurikulum apabila dilaksanakan kelak.\n\u201cKami amat berbangga dengan pencapaian mahasiswa UiTM pada tahun lepas ketika mewakili Malaysia dalam pertandingan silat di India dan berjaya memperoleh pingat Perak.\n\u201cKami berharap melalui kerjasama ini, pelajar daripada Persatuan Silat Seni Gayong dapat meneruskan legasi yang boleh membanggakan ini,\u201c jelas beliau.\nPada masa yang sama, Profesor Dr. Roshima berharap dengan termeterainya MoU, Kelab Bola Sepak Puteri Jaya Kids dapat mempergiat pelbagai aktiviti menarik bagi mengasah bakat pelajar sekolah menengah." "Zaid Roslan Duta Bahasa Negeri Melaka 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMelaka \u2013 Menepati hasrat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk meletakkan bahasa kebangsaan ke peringkat dunia dan memenuhi aspirasi kerajaan dalam menentukan hala tuju negara dalam pembentukan jati diri golongan belia yang cinta akan bahasa Melayu, Duta Bahasa negeri Melaka 2022 edisi pertama telah dinobatkan kepada Zaid Roslan.\nKemenangan tersebut melayakkan Zaid Roslan membawa pulang wang tunai bernilai RM2000.00, plak, sijil dan hadiah iringan. Naib johan pula disandang oleh Nur Atiqah Mohd. Jani manakala Muhammad Syazwan Shamsudin menduduki tempat ketiga. Masing-masing menerima wang tunai RM1000.00 dan RM700.00 berserta plak, sijil dan hadiah iringan. Tiga peserta lain pula menerima hadiah sagu hati yang masing-masing menerima wang tunai RM300.00, plak, sijil dan hadiah iringan.\nTerdahulu, buat julung-julung kalinya, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) menjejaki bumi Hang Tuah bagi program Pencarian Duta Bahasa (PDB) negeri Melaka. Projek perintis ini telah dihebahkan semenjak bulan Julai 2022 dan mendapat sambutan dalam kalangan belia kelahiran negeri Melaka atau yang berkhidmat dan bermastautin di negeri Melaka.\nPDB bermatlamat untuk mencungkil bakat dan keterampilan serta kepimpinan belia dalam bidang kebahasaan, kesusasteraan, apresiasi seni dan pengucapan awam. Sebanyak 10 orang calon Duta Bahasa daripada pelbagai latar belakang dan kecenderungan telah terpilih ke pentas akhir. Duta Bahasa ini akan diketengahkan untuk menjadi sebahagian daripada \u201csuara\u201c DBP dan membantu DBP untuk menyebarluaskan bahasa Melayu ke peringkat yang lebih tinggi.\n\u00a0\nPencarian Duta Bahasa mendapat kerjasama yang padu daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Pusat Sumber Jabatan Ketua Menteri Melaka, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Jemaah Nazir dan Pembangunan Kualiti Melaka dan Majlis Gabungan Belia Negeri Melaka. Penjurian tetap dimandatkan kepada panel hakim profesional yang mewakili 60 peratus jumlah markah manakala penilaian juri awam mewakili 40 peratus pemarkahan.\nMenurut Pengarah DBPWS, Encik Mohd Riduwan Wahab, PDB ini dirancang untuk dilaksanakan pada setiap tahun dan berkesinambungan dengan program susulan lain bagi membugarkan dan memberikan ilmu tambah dan informasi terkini kepada semua finalis PDB.\nBersempena dengan program ini juga telah diadakan pelancaran Dekad Bahasa Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Melaka. Majlis telah disempurnakan oleh YB Datuk Wira Zaidi Johari, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, merangkap wakil rasmi YAB Datuk Seri Utama Dr. Haji Sulaiman Md. Ali, Ketua Menteri Melaka.\nDalam ucapan perasmiannya, beliau menggalakkan wakil rakyat agar terlibat sama dalam menjayakan apa-apa apresiasi bahasa dan persuratan Melayu yang dilaksanakan oleh mana-mana agensi sebagai tanda sokongan kepimpinan negara ke peringkat akar umbi.\nAntara inisiatif DBK termasuklah memperkasakan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang mencakupi pelbagai bidang dan sektor di Malaysia. Dalam tempoh sedekad inilah juga bahasa Melayu akan diantarabangsakan menjadi satu daripada bahasa utama di ASEAN dan menjadikan Malaysia sebagai pusat persuratan Melayu terulung di Malaysia." "Menyemarakkan Aktiviti Penulisan Kreatif melalui Program Majalah Dalam Kelas\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKOTA BELUD \u2013 Sebanyak 56 orang pelajar dan tiga orang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi telah menyertai Program Majalah Dalam Kelas (MDK) Dewan Siswa yang diadakan di Dewan Nur Qaseh, SMK Taun Gusi hari ini.\nProgram MDK yang dilaksanakan oleh pihak SMK Taun Gusi dengan kerjasama Bahagian Majalah, DBP ini bertujuan untuk memperkenalkan majalah Dewan Siswa secara langsung kepada para pelajar dan guru, serta membantu guru-guru Bahasa Melayu, khususnya bagi mempelbagaikan kaedah, teknik dan bahan rujukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Hal ini demikian kerana majalah Dewan Siswa telah menjadi bahan rujukan untuk program Majalah Dalam Kelas (MDK) sejak tahun 1988 lagi. Jika diteliti, kandungan majalah ini memaparkan pelbagai cakupan ilmu dan isu semasa, sama ada dalam bidang kreatif atau pun bukan kreatif, khususnya berkaitan dengan para pelajar di sekolah menengah.\nSemasa sesi taklimat bersama-sama editor Majalah Dewan Siswa, para pelajar telah diberikan panduan dan galakan untuk menghantar karya bagi penerbitan majalah DBP. Motivasi dan galakan ini penting untuk mengasah bakat dan potensi diri pelajar dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif. Program MDK ini secara keseluruhannya, menitikberatkan kehendak pengisian kurikulum seperti kemahiran berfikir, kemahiran belajar, dan kemahiran dalam teknologi maklumat dan komunikasi.\nBeberapa aktiviti secara berkumpulan telah dilaksanakan semasa program MDK ini, antaranya aktiviti interaktif seperti kuiz menara belon, teka peribahasa Melayu dan aktiviti yang menggunakan kandungan dalam majalah Dewan Siswa sebagai bahan tambahan dan sokongan kepada proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Melalui aktiviti menukarkan artikel kepada pantun para pelajar dapat berfikir secara kreatif dan kritis untuk menghasilkan sebuah penulisan yang baik dan bermutu. Selain itu, pelajar juga dapat membuat penyusunan idea, merapikan perkataan dan menzahirkan pemikiran dengan cepat, tepat dan teratur. Aktiviti MDK ini juga berjaya mewujudkan ruang komunikasi dua hala antara pelajar, guru dan sidang editorial Dewan Siswa untuk bertukar-tukar pendapat dan untuk penambahbaikan majalah.\nMenurut pengetua SMK Taun Gusi, Encik Nuzie\u00a0 Haji Balus, program MDK ini diharapkan agar dapat memberikan manfaat kepada para pelajar SMK Taun Gusi, selain turut menjadikan majalah Dewan Siswa sebagai panduan dalam\u00a0 pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, terutamanya ruangan bimbingan yang terdapat dalam majalah Dewan Siswa.\nProgram MDK yang dilaksanakan ini diharap dapat mengasah bakat dan kemahiran pelajar dalam penulisan kreatif dan deskriptif serta dapat mendedahkan pelajar tentang penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul. Selain itu, melalui penerbitan majalah DBP juga diharap dapat memberikan manfaat yang berguna kepada semua pihak, serta memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar, guru, dan ahli keluarga yang lain." "Penjelasan KPM Mengenai Gangguan Capaian Sistem Aplikasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan bahawa terdapat isu gangguan capaian terhadap beberapa aplikasi utama KPM, iaitu Sistem Bersepadu KPM (MOEIS) dan Sistem Pengurusan Identiti (idMe) yang merupakan sistem Daftar Diri Tunggal (Single Sign On (SSO)) bagi setiap pengguna aplikasi KPM.\nGangguan capaian sistem telah mula dikesan pada 15 Januari 2023 disebabkan oleh trafik capaian yang amat tinggi daripada pengguna sistem, iaitu para guru yang sedang melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) secara dalam talian. KPM telah mengambil tindakan pemulihan interim pada pangkalan data serta sistem aplikasi terlibat dan telah dapat mengatasi salah satu isu yang telah dikenal pasti, iaitu konflik capaian di antara idMe dengan modul aplikasi MOEIS pada 16 Januari 2023.\nNamun begitu, gangguan capaian kepada sistem dikesan berlaku semula secara tenggelam timbul (intermittent) pada 19 Januari 2023. Oleh itu, tindakan penambahbaikan pada peringkat rangka kerja (framework) pangkalan data dan pengaturcaraan aplikasi telah dilaksanakan bagi meningkatkan kestabilan capaian.\nSehingga hari ini, prestasi capaian didapati semakin baik, namun masih belum pulih sepenuhnya. Pemantauan prestasi capaian sistem dan tindakan pemulihan diteruskan secara rapat dan segera bagi memastikan isu gangguan capaian dapat diatasi secara menyeluruh. Para guru juga mempunyai tempoh sehingga 10 Mac 2023 untuk melaksanakan aktiviti perekodan dan pelaporan PBD sebagaimana yang termaktub dalam Jadual Kerja PBD Akhir Sesi Akademik 2022/2023.\nSebagai pemakluman, KPM memahami kesulitan yang dihadapi oleh para guru dan memohon maaf atas masalah tersebut serta akan memastikan supaya prestasi capaian aplikasi KPM berada pada tahap yang cemerlang." "Peranan Media dalam Memupuk Perpaduan Kaum\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSejajar dengan anjakan paradigma yang berlaku di seluruh dunia, isu teknologi moden dan kesannya terhadap manusia kini menjadi topik utama yang semakin hangat diperdebatkan. Sejak manusia mula mengenal sains dan teknologi beribu-ribu tahun dahulu, setiap penemuan dan ciptaan teknologi yang baharu telah membawa pelbagai faedah kepada perkembangan tamadun manusia sejagat.\nKendatipun begitu, manusia dalam menjalani kehidupan yang semakin moden kini mula menyedari bahawa di sebalik segala faedah dan kesenangan yang dibawa oleh perkembangan teknologi, tersirat pelbagai ancaman tersembunyi terhadap manusia. Oleh itu, penggunaan Internet yang dilihat sebagai media yang paling efektif perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya seperti kata pepatah, \u201cperahu sudah di air, pendayung sudah di tangan\u201d agar memberikan manfaat dan tidak mendatangkan kesan negatif kepada diri sendiri.\nBegitu juga dengan perpaduan kaum terbesar di Malaysia yang meliputi kaum Melayu, Cina dan India. Perhubungan ini wujud tanpa prasangka buruk. Banyak usaha yang telah dilakukan demi memastikan perpaduan kaum dapat dimantapkan. Usaha memupuk perpaduan kaum perlu diteruskan. Peranan media seperti akhbar dan televisyen dalam menyemai perpaduan hendaklah diteruskan. Demikian itu, media juga hakikatnya berperanan besar dalam membantu menyemai perpaduan kaum.\nOleh hal yang demikian, kepentingan media massa dalam pembangunan sosioekonomi dan kebudayaan di sesebuah negara pada masa ini tidak boleh dinafikan dan patut diberikan pengiktirafan sewajarnya. Tambahan pula, peranan tersebut sudah terang lagi bersuluh adalah selari dengan prinsip yang termaktub dalam Rukun Negara serta sebagai panduan untuk setiap warganegara dalam pembinaan negara tanpa mengira perbezaan fahaman atau warna kulit. Tidak dapat dinafikan bahawa hubungan sesama manusia dapat diperkukuh melalui media. Hal ini demikian kerana pada era globalisasi kini, majoriti individu memiliki gajet yang sentiasa bersama mereka atau boleh diibaratkan gajet tersebut seperti nyawa yang tidak lekang daripada empunya badan. Oleh itu, jelaslah bahawa media mampu menjadi medium pemangkin keharmonian dan perpaduan dalam memastikan kestabilan negara sentiasa terjamin.\nSeyogianya, setiap individu mengetahui bahawa peranan media yang paling utama adalah untuk memudahkan komunikasi. Kewujudan pelbagai aplikasi yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan pada masa ini memudahkan manusia untuk berhubung dengan pihak lain. Aplikasi tersebut juga membolehkan kita berkomunikasi secara langsung dengan sahabat handai, saudara-mara dan keluarga walau di mana berada. Tamsilnya, kita boleh berkomunikasi dengan orang lain melalui Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya. Secara tidak langsung, perkara ini akan merapatkan hubungan silaturahim sesama anggota masyarakat kendatipun kita berlainan bangsa.\nMedia juga berperanan menjadi agen penyatuan apabila dilihat sentiasa menyebarkan galakan perpaduan seperti memaparkan iklan-iklan yang juga terselit elemen kepelbagaian kaum. Pada hakikatnya, secara tidak langsung iklan tersebut akan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat bahawa perpaduan itu amat penting bagi menjamin keharmonian negara. Pelbagai iklan yang ditayangkan juga dapat memupuk sikap hormat-menghormati antara kaum.\nSungguhpun begitu, jika pihak yang berautoriti untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat tidak menguasai kemahiran menyampaikan maklumat atau mesej berkaitan sama ada melalui penulisan contohnya, usaha yang dilakukan juga sia-sia kerana mesej yang disampaikan tidak dapat diterima atau sukar difahami oleh masyarakat. Oleh sebab itu, kekerapan penganjuran bengkel penulisan kepada wartawan misalnya harus ditingkatkan agar pihak yang menjadi perantara untuk menyebarkan mesej dan berita kepada masyarakat awam dapat mengaitkan isu semasa dengan unsur-unsur perpaduan. Keadaan ini secara tidak langsung dapat menggalakkan masyarakat supaya sentiasa bersatu padu, berganding bahu serta bertoleransi dalam mencapai perpaduan kaum di Malaysia selain dapat memastikan mesej perpaduan dapat disampaikan dengan cara yang menarik, santai serta mudah difahami oleh masyarakat.\nWalau bagaimanapun, keharmonian yang sedia ada perlu sentiasa dijaga secara berterusan bagi mengelakkan sebarang unsur yang dapat menggugat keharmonian kaum. Oleh itu, penghasilan filem berkonsepkan kenegaraan atau perpaduan tidak hanya tertumpu pada elemen peperangan malahan, filem berunsurkan semangat perpaduan juga boleh diketengahkan seperti filem Adiwiraku, Ola Bola, Kolumpo dan sebagainya. Filem patriotik seperti yang dinyatakan juga telah menggabungkan elemen pelbagai kaum di Malaysia yang boleh menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam jiwa rakyat Malaysia.\nMedia juga perlu berfungsi sebagai medium penyebaran keunikan setiap kaum di Malaysia tidak hanya khusus semasa perayaan besar sahaja. Dengan adanya pendedahan secara berterusan, media juga dapat menjadikan masyarakat berbilang kaum semakin erat seterusnya mampu merapatkan jurang perbezaan yang semakin jauh akibat daripada perbezaan sosioekonomi, pendidikan dan gaya hidup sesetengah kaum. Melalui pengetahuan tentang keunikan kaum tertentu, hal ini akan dapat memudahkan urusan kehidupan seharian dan membuatkan manusia lebih berkasih sayang.\nLebih memberangsangkan apabila terdapat individu yang dapat bertutur bahasa kaum yang lain dengan fasih. Sebagai contoh, kini wujudnya pempengaruh dalam pelbagai medium aplikasi sosial seperti Tiktok, Instagram, Twitter apabila mereka sentiasa memuat naik video-video yang berkaitan dengan pengajaran bahasa Mandarin yang mudah diikuti oleh penonton. Mereka juga dilihat mudah untuk menarik minat golongan belia melalui undian yang dilakukan, membuat video berdasarkan permintaan pengikut mereka dan sebagainya. Hal ini dapat menyuntik semangat perpaduan kaum dalam masyarakat berbilang bangsa untuk lebih mendekati bangsa lain walaupun berlainan bahasa, budaya dan fahaman.\nPromosi yang berkaitan dengan kebaikan perpaduan kaum juga dapat menjamin keharmonian dan kesejahteraan negara. Oleh itu, pihak tertentu seharusnya mempertingkatkan usaha mempromosikan amalan tersebut dengan memperluas penyebaran elemen berkaitan dengan kepelbagaian kaum di Malaysia yang tidak tertumpu melalui media elektronik semata-mata. Hal ini demikian kerana, kebanyakan masyarakat di kawasan pedalaman masih tidak memiliki akses sepenuhnya terhadap perubahan zaman moden pada ketika ini dan menyebabkan mereka kurang mendapat akses bagi mendapatkan maklumat terkini." "Pembudayaan Ilmu melalui Majalah Terbitan DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Belud \u2013 \u201cApa juga cita-cita yang kita miliki pada masa hadapan, kemahiran menulis sangat diperlukan. Hal ini adalah untuk memastikan kita dapat berkongsi ilmu kepada orang ramai. Sebagai contoh, seorang jurutera yang mencintai bahasa dan boleh menulis mampu berkongsi maklumat berkaitan dengan kepakarannya kepada semua. Jika tidak, berlakulah rencatan penyebaran ilmu kepada dunia luar,\u201d ujar Pengarah Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tuan Haji Razali Che Mat.\nBeliau berkata demikian semasa merasmikan Program Majalah Dalam Kelas (MDK) Dewan Pelajar anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Kukut, Kota Belud, Sabah dengan kerjasama Bahagian Majalah DBP dan DBP Cawangan Sabah pada pagi ini. Program tersebut mengumpulkan 70 orang murid dan 10 orang \u00a0guru dari enam buah sekolah di sekitar Kota Belud dan Kota Marudu, iaitu dari SK Ulu Kukut, SK Taun Gusi, SK Lasau Tintapon, SK Jawi-Jawi, SK Timbang dan SK Tandek.\nProgram MDK diadakan sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melibatkan murid dalam proses pembudayaan ilmu. Di samping memastikan murid memperoleh keputusan cemerlang dalam bidang akademik, murid juga dibimbing untuk mendapatkan seberapa banyak ilmu tambahan yang bermanfaat daripada bahan yang bermutu seperti majalah terbitan DBP.\nTurut hadir semasa perasmian program tersebut ialah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud (Sektor Pembelajaran), Encik Mokilau Rudin; Penasihat Ikatan Penulis Sabah (IPS), Encik Hasyuda Abadi; Ketua Satu IPS, Encik Awang Abdul Muizz Awang Marusin; Timbalan Presiden Persatuan Sastera dan Budaya Sabah (PSBS), Encik Mabulmaddin Shaiddin; dan Munsyi Dewan (Sastera), Encik Ramli Jusoh.\nAntara aktiviti yang dijalankan semasa Program MDK termasuklah sesi taklimat tentang kandungan majalah Dewan Pelajar dan panduan penulisan dalam majalah, aktiviti permainan bahasa secara dalam kumpulan serta sesi pembentangan karya murid. Murid berpeluang menunjukkan potensi dan bakat mereka dalam bidang penulisan di samping dapat meningkatkan minat dalam mata pelajaran bahasa Melayu melalui aktiviti bersifat didik hibur.\nSelain itu, program tersebut dimeriahkan dengan jualan dan pameran buku yang diadakan di pekarangan sekolah oleh Unit Pemasaran dan Pengedaran DBP Cawangan Sabah. Bengkel bersama-sama guru juga diadakan untuk berkongsi maklumat tentang penggunaan majalah dalam kelas sebagai bahan sokongan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Bengkel tersebut juga bertujuan untuk memberikan galakan kepada guru bagi memangkin kecemerlangan murid dalam pelbagai cabang ilmu.\nGuru Besar SK Ulu Kukut yang juga merupakan Presiden PSBS, iaitu Encik Norawi Haji Kata menyatakan bahawa:\nHarapan saya agar program ini dapat diteruskan dan tidak berhenti setakat ini sahaja. Guru perlu memainkan peranan dengan menggalakkan murid untuk terus berkarya dan terus membaca majalah ini agar ada kesinambungannya.\nBeliau mengakhiri ucapan dengan menzahirkan penghargaan kepada pihak DBP, guru dan murid yang terlibat kerana telah menunjukkan komitmen dan maklum balas yang baik sepanjang program berlangsung.\nKredit gambar: DBP Cawangan Sabah" "Raja Muda Perlis Berkenan Menerima Sembah Mengadap Panglima Briged ke-30 Infantri Tentera Darat Malaysia yang Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau\u00a0 \u2013 Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima sembah mengadap Panglima Briged ke-30 Infantri Tentera Darat Malaysia yang baharu, iaitu Brigedier Jeneral Yazid Yusuf di Galeri DiRaja Arau, hari ini.\nBrigedier Jeneral Yazid Yusuf melapor diri di Markas Briged ke-30 Infantri, Kem Bukit Cowder, Mata Ayer, Perlis pada 16 Januari 2023 bagi mengambil alih jawatan Panglima Briged menggantikan Brigedier Jeneral Mohd Zaki Abu yang telah bertukar keluar ke Markas Tentera Darat, Jabatan Arah Pasukan Udara Tentera Darat sebagai Ketua Pengarah.\nSelepas majlis mengadap tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia bertitah bahawa Pasukan Simpanan tersebut telah merancang pelbagai aktiviti kolaborasi dengan agensi awam dan swasta sepanjang tahun 2023 ini bagi meningkatkan lagi penyertaan dan penglibatan latihan oleh anggotanya.\nRaja Muda Perlis bertitah:\nRejimen ini\u00a0 memfokuskan tahun ini sebagai Tahun Penjajaran Latihan dalam usaha bagi meningkatkan Petunjuk Prestasi Utama atau \u201cKey Performance Indicators\u201c (KPI) rejimen. Setiap titik anjakan yang dicapai diharap mampu memberikan impak maksimum dalam memastikan setiap matlamat yang disasarkan dapat dicapai dengan jayanya." "UiTM Cawangan Perlis, FCoEE dan UKM Perkasa STEM melalui COMEL\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAlor Setar \u2013 STEM merupakan singkatan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik. Istilah ini biasanya digunakan bagi menunjukkan dasar pendidikan dan pilihan kurikulum sekolah bagi meningkatkan daya saing dalam bidang pembangunan teknologi.\nKeperluan kepada STEM wujud apabila kehendak terhadap bidang kerja yang melibatkan STEM adalah jauh lebih tinggi berbanding bidang lain. Namun begitu, minat terhadap bidang STEM terus menurun. Hal ini secara langsung menjejaskan proses pembangunan dan kemajuan negara. Oleh itu, wujud keperluan untuk mengadakan inisiatif tambahan yang berterusan bagi mencapai sasaran 60 peratus pelajar STEM menjelang 2030 bagi memastikan negara mempunyai bekalan bakat STEM yang mencukupi sejajar Matlamat Pembangunan Mampan 2030 yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).\nDalam konteks tersebut, para pelajar terutamanya di negeri Perlis perlu didedahkan kepada bidang ini bagi membantu menyediakan lebih banyak sumber kerja kepada negara. Namun begitu, permasalahan timbul apabila pelajar sekarang masih tidak dapat memenuhi kriteria keperluan tersebut sama ada dari segi bilangan mahupun kualiti kerja dalam bidang STEM.\nMemahami keperluan tersebut, maka Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) bersama UiTM Cawangan Perlis, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis memperkenalkan program Integrasi Pemikiran Kompusional (Computational Thinking) menggunakan Bahasa Inggeris Merentas Bidang STEM atau COMEL kepada pelajar-pelajar di negeri Perlis.\nProgram COMEL ini bertujuan membantu memupuk dan membina minat dalam kalangan pelajar untuk menyambung pelajaran dalam bidang berkaitan STEM sejak dari sekolah rendah lagi dengan mengintegrasi pemikiran komputasional dengan bahasa Inggeris merentas bidang STEM dalam kalangan pelajar-pelajar di negeri Perlis.\nFasa pertama program COMEL dimulakan dengan Training for Trainer (ToT) kepada 8 orang guru dari empat buah sekolah terpilih, iaitu Sekolah Kebangsaan Jalan Raja Syed Alwi, Sekolah Rendah Islam 1, Sekolah Kebangsaan Felda Mata Ayer dan Sekolah Kebangsaan Putra. Turut terlibat ialah para pensyarah dari UiTM Cawangan Perlis, iaitu Puan Eliy Nazira Mat Nazir, Dr Nursyamilah Annuar, Dr Nur Fathihah Fauzi, Encik Sharir Aizat Kamaruddin serta Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi yang akan menyumbangkan kepakaran dalam pelaksanaan program COMEL. Program ToT ini dikendalikan oleh Dr. Ahmad Hanif Baharin dan Prof. Madya Dr. Wahiza Wahi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).\nYBhg. Rektor UiTM Cawangan Perlis dalam ucapan alu-aluan beliau menyatakan institusi seperti UiTM Cawangan Perlis tidak boleh bersikap evasif dalam pembangunan komuniti setempat. Oleh itu, kesediaan UiTM Cawangan Perlis dalam menyumbangkan kepakaran kepada komuniti di negeri Perlis terutama pelajar-pelajar dan guru-guru sekolah dalam usaha menarik minat para pelajar dalam bidang STEM merupakan suatu inisiatif yang amat penting. Beliau turut menyatakan kesediaan UiTM Cawangan Perlis untuk lebih proaktif dalam pembangunan komuniti setempat. Di samping itu, beliau turut berterima kasih kepada pihak FCoEE, UKM, dan JPN atas kerjasama dalam merealisasikan program COMEL.\nPengerusi FcoEE, YBhg. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin dalam ucapan perasmian berbesar hati atas kesediaan institusi seperti UiTM Cawangan Perlis dan UKM dalam membantu pembangunan pelajar dan guru di negeri Perlis. Sementelahan pula, usaha sebegini amat penting dan amat dialu-alukan untuk memastikan para pelajar dan guru didedahkan dengan teknik terkini seperti gamifikasi yang dapat menjadikan pembelajaran lebih menarik dan berkesan." "Majlis Sumbang Kasih Anak Terkesan COVID-19 Negeri Sarawak Wajar Dipergiat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek telah menghadiri Majlis Sumbang Kasih Anak Terkesan COVID-19 Negeri Sarawak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kawa, Padawan, Sarawak. Majlis yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Farm Fresh dan Yayasan Didik Negara bagi membantu murid yang telah kehilangan penjaga, ibu dan bapa akibat wabak COVID-19.\nSumbangan tersebut telah disampaikan oleh YB Fadhlina Sidek kepada penerima yang terdiri daripada pelajar dan waris. Dalam ucapannya pada majlis tersebut, YB Menteri Pendidikan itu berharap sumbangan yang dihulurkan tersebut dapat membantu meringankan beban dan menjaga kebajikan pelajar. Beliau juga berharap lebih banyak pihak prihatin terhadap isu ini. Farm Fresh diwakili oleh Encik Azmi Zainal, Ketua Pegawai Operasi Syarikat.\nDalam perkembangan yang sama, YB Menteri turut meluluskan peruntukan dana pembangunan sekolah sebanyak RM150 ribu kepada SMK Batu Kawa, Padawan. YB Fadhlina Sidek telah membuka ruang perbincangan dengan mengadakan sesi dialog bersama-sama pihak pengurusan sekolah dan ibu bapa bagi mendengar cadangan dan permasalahan dalam sistem pendidikan negara.\nSelain itu, YB Menteri turut berkesempatan meluangkan masa untuk melihat pameran dan inovasi yang diusahakan oleh guru dan pelajar dari sekolah di sekitar bahagian Kuching.\nTurut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Pkharuddin Ghazali, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia, Dr. Hazami Jahari, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr. Norisah Suhaili, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Datu Dr. Azhar Ahmad, dan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai.\nSebelum berangkat pulang, rombongan YB Menteri telah diberi taklimat oleh pihak Jabatan Kerja Raya tentang status projek bangunan tambahan SMK Batu Kawa yang sedang dalam proses pembinaan. Rombongan kemudiannya dibawa melawat tapak pembinaan bagi melihat sendiri kemajuan projek tersebut. Majlis di SMK Batu Kawa merupakan penutup kepada lawatan rasmi YB Menteri dan Pengurusan Tertinggi KPM yang berlangsung dari 26 hingga 28 Januari 2023 di Sarawak sebelum kembali ke Kuala Lumpur." "Raja Muda Perlis Terima Sembah Mengadap Delegasi Uzbekistan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u00ad\u2013 Pada 29 Januari 2023, Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima mengadap delegasi daripada Pejabat Pentadbiran Wilayah Samarkand dari Uzbekistan di Galeri DiRaja Arau.\nDelegasi seramai tujuh orang tersebut diketuai oleh Timbalan Gabenor Wilayah Samarkand, Kobilov Rustam Rajabboyevich.\nDalam pertemuan tersebut, Raja Muda Perlis mengalu-alukan kedatangan pelajar dari Uzbekistan untuk melanjutkan pelajaran di negeri Perlis.\nPelajar dari Wilayah Samarkand boleh membuat permohonan untuk mendaftarkan masuk ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).\nTitah baginda dengan yakin, institusi tersebut telah berjaya melahirkan puluhan graduan pada setiap tahun, termasuklah pelajar dari Uzbekistan sebelum era pandemik yang lalu.\nTurut serta dalam rombongan berkenaan ialah Ketua Mufti dan Imam, Eshonkulov Zayniddin dan Ketua Jabatan Pelancongan dan Warisan Kebudayaan, Akhmedov Makhmud Mukhamadovich.\nHadir sama, Rektor Sekolah Tinggi Sains Hadith Yusupov Olimxon dan Pegawai di Kedutaan Besar Uzbekistan di Kuala Lumpur, Elbek Saidov.\nDalam perkembangan yang lain, Kobilov Rustam yang ketika berada di Perlis selama dua hari dan satu malam memuji inisiatif mampan yang dilaksanakan oleh Tuanku Raja Muda melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang pada hemat beliau telah mengubah landskap dan gaya hidup masyarakat setempat di dalam kawasan Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai Kuala Perlis dengan jayanya.\nTambah beliau, \u201clokasi menarik Kampung Nelayan Warna Warni boleh diketengahkan sebagai satu produk pelancongan baharu yang menarik di negara ini. Namun, usaha ini memerlukan sokongan padu daripada semua pihak, terutamanya masyarakat setempat untuk memastikan kawasan masing-masing kekal bersih, ceria dan mesra pengunjung pada setiap masa.\u201d" "YB Fadhlina Sidek Merasmikan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNibong Tebal \u2013 Operasi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal yang terletak di lot bangunan kedai, Taman Perindustrian Nibong Tebal secara rasminya bermula dengan majlis perasmiannya yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Nibong Tebal, YB Fadhlina Sidek pada 29 Januari 2023.\nAgenda penubuhan Pusat Khidmat Rakyat ini mendapat sokongan sepenuhnya daripada Perdana Menteri, Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim. Perkara ini disampaikan oleh Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akim yang turut diberikan penghargaan untuk menyampaikan ucapan alu-aluan sempena perasmian Pusat Khidmat Rakyat Perlimen Nibong.\nDalam ucapan beliau, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akim mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Nibong Tebal dan seluruh pasukan kerja yang menjayakan perasmian pusat berkenaan. \u201cPusat Khidmat Rakyat ini penting untuk kita memastikan penyampaian khidmat berlaku dan sampai kepada pengundi yang telah memberikan undian yang besar wakil rakyat yang sekarang ini menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen yang juga Menteri Pendidikan. Oleh sebab itu, pusat khidmat ini harus betul-betul boleh memberikan perkhidmatan kepada rakyat, khususnya rakyat di kawasan Nibong Tebal ini,\u201d demikian kata Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akim.\nSelaku Ahli Parlimen Nibong Tebal, YB Fadhlina Sidek dalam ucapannya berasa cukup gembira kerana majlis perasmian yang berlangsung dalam suasana santai, namun mendapat sokongan daripada banyak pihak. Malah, beliau berasa terharu apabila melihat kehadiran beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang seperti ADUN Jawi, ADUN Macang Bubuk dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, termasuklah Timbalan Menteri Pendidikan, YB Lim Hui Ying.\nYB Fadhlina Sidek berkata, penubuhan Pusat Khidmat Rakyat bertujuan untuk mengorientasikan masyarakat dengan kerja-kerja sukarelawan dan menarik minat masyarakat untuk terlibat dalam lapangan kebajikan masyarakat. Malah, YB Fadhlina juga menyeru rakyat di Nibong Tebal yang mempunyai anak yang sudah tamat belajar atau yang sedang menunggu untuk mendapat pekerjaan untuk menghantar anak mereka bekerjasama secara sukarela di pusat tersebut untuk mendapat pengalaman tentang kerja kebajikan dan memupuk minat menjadi sukarelawan.\nBerpegang pada slogan \u201cNibong Tebal Sejahtera\u201d, YB Fadhlina akan merealisasikan beberapa usaha yang akan membawa kesejahteraan kepada rakyat di kawasan Parlimen yang diwakilinya itu. Antaranya, termasuklah menaik taraf kemudahan untuk orang awam seperti taman rekreasi dan memberikan ruang kepada pengusaha makanan francais untuk beroperasi di Nibong Tebal.\n\u201cSaya berharap bantuan ini dapat meringankan beban untuk ibu bapa dalam menyediakan peralatan dan kelengkapan sekolah anak-anak mereka apabila penggal persekolahan baharu bermula pada Mac nanti. Dan jika ada bantuan yang tidak sampai kepada golongan yang layak menerimanya, aduan boleh dibuat terus di Pusat Khidmat Rakyat ini,\u201d demikian ujar YB Fadhlina mengakhiri ucapannya selepas menyampaikan sumbangan berupa beg dan peralatan sekolah kepada 150 anak yatim dan golongan asnaf.\nPihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut hadir memberikan sokongan dengan membuat jualan buku oleh Ujana Buku. Sebelum majlis berakhir, YB Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan mengunjungi Ujana Buku dan menerima sumbangan buku untuk dijadikan bahan bacaan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal. Sumbangan tersebut disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Zulfa Hamzah. Turut hadir bersama-sama beliau ialah Pengarah DBP Wilayah Utara dan Ketua Bahagian Komunikasi Korporat DBP." "Pemerdagangan Manusia: Apakah Tindakan Kita?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSejak akhir-akhir ini, terdapat banyak kes mengenai pemerdagangan manusia tular di media sosial. Umum mengetahui bahawa pemerdagangan manusia bermaksud perbuatan yang melibatkan pemerolehan atau pengekalan tenaga kerja atau perkhidmatan seseorang melalui paksaan seperti merekrut, mengangkut, memindahkan, melindungi, menyediakan atau menerima seseorang (Undang-undang Malaysia, 2016). Dalam erti kata lain, pemerdagangan manusia boleh disifatkan sebagai salah satu aktiviti perdagangan manusia yang melibatkan pergerakan manusia secara haram seperti membawa masuk atau keluar buruh secara tidak sah atau secara paksa, pengambilan manusia bagi tujuan pelacuran, pekerjaan, atau perhambaan dan lebih tragis untuk tujuan penjualan organ manusia. Bukan itu sahaja, malah terdapat juga aktiviti pemerdagangan manusia bagi kanak-kanak untuk tujuan pelacuran, mengemis, pengambilan anak angkat dan lain-lain.\nAktiviti pemerdagangan merupakan masalah global yang berlaku dalam kalangan semua peringkat umur tidak mengira lelaki atau wanita. Pada kebiasaannya, aktiviti pemerdagangan manusia berlaku antara negara, iaitu dari sebuah negara ke negara yang lain melalui jalan darat, laut atau udara. Malaysia turut menjadi destinasi tumpuan bagi aktiviti pemerdagangan manusia khususnya pekerja asing dari negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Bangladesh, Thailand dan India. Pada April 2020 hingga Mac 2021, pihak penguat kuasa undang-undang telah melakukan sebanyak 118 buah penyiasatan bagi aktiviti pemerdagangan manusia dan Jabatan Peguam Negara memulakan pendakwaan terhadap 79 orang yang disyaki memperdagangkan manusia dan telah mensabitkan sebanyak 25 orang dan penyeludup migran (Kedutaan Amerika Syarikat, Malaysia, 2021). Sehubungan dengan itu, kebanyakan orang yang tidak bersalah telah diperdagangkan bagi tujuan yang tidak berperikemanusiaan ini. Oleh itu, umum harus mengetahui bahawa isu pemerdagangan manusia ini harus diambil tindakan oleh pelbagai pihak bagi mengelakkan semakin banyak orang menjadi mangsa. Berikut merupakan tindakan yang boleh diambil oleh semua pihak bagi mengelakkan sebarang aktiviti pemerdagangan manusia berlaku:\n1. Memperkasakan Undang-undang Sedia Ada\nPeranan pihak kerajaan dalam memperkasakan undang-undang sangat penting bagi membanteras aktiviti pemerdagangan manusia di dalam negara. Saadiah Ismail (2021), menyatakan bahawa Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memperkasakan penguatkuasaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSON) 2007 bagi meningkatkan jumlah sabitan kesalahan kepada golongan yang melakukan kesalahan yang berkaitan dengan pemerdagangan manusia. Hal ini demikian kerana, undang-undang sedia ada masih dipandang enteng oleh segelintir golongan yang melakukan kesalahan ini kerana hukuman sedia ada dilihat tidak setimpal dan kompaun dikenakan kepada pesalah juga masih di tahap yang sederhana. Golongan pesalah ini sudah semestinya mendapat pulangan yang tinggi hasil daripada melakukan aktiviti pemerdagangan manusia ini. Sebagai contoh, pihak berwajib boleh memperkasakan undang-undang sedia ada seperti mempertimbangkan untuk meningkatkan hukuman seperti penjara seumur hidup kepada pesalah jenayah pemerdagangan manusia dan kadar bayaran kompaun yang lebih tinggi. Oleh itu, undang-undang sedia ada perlu diperketat supaya pihak yang tidak bertanggungjawab lebih takut untuk melakukan aktiviti tidak bermoral ini.\n2.\u00a0\u00a0 Peranan Pihak Kerajaan\nUsaha perlu ditingkatkan lagi oleh pihak kerajaan dengan kerjasama pelbagai pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat, dan agensi lain bagi membanteras aktiviti pemerdagangan manusia ini berlaku. Peranan pihak kerajaan pada masa ini dilihat komited dalam menangani isu ini. Walau bagaimanapun, penjenayah kini selangkah lebih licik dalam melakukan aktiviti jenayah ini. Penjenayah sudah semestinya akan mempelbagaikan cara untuk membawa masuk atau keluar golongan manusia yang tidak bersalah demi kepentingan diri mereka sendiri. Misalnya, kerajaan perlu meningkatkan operasi dengan bantuan pihak yang berwajib dalam mengesan aktiviti pemerdagangan manusia di bahagian sempadan negara sama ada di laut, udara atau darat. Usaha kerajaan sebelum ini dalam menangani isu pemerdagangan manusia termasuklah seperti serbuan polis secara besar-besaran terhadap premis yang dikenal pasti menjadi pusat seks komersial, kilang-kilang yang disyaki mempunyai tenaga kerja paksa dan majikan yang dikenal pasti tidak membayar gaji (Kedutaan Amerika Syarikat, Malaysia, 2021). Dengan itu, kerajaan perlu lebih proaktif dan komited dalam mengesan aktiviti pemerdagangan manusia ini kerana banyak lagi golongan yang tidak bernasib baik tidak dapat dikenal pasti sebagai mangsa dan tidak menerima perlindungan.\n3.\u00a0\u00a0 Peranan Media Massa\nPeranan media massa kini dilihat sangat penting dalam membanteras kes pemerdagangan manusia. Pada era globalisasi ini, peranan media massa dilihat sangat penting untuk menyalurkan maklumat kepada masyarakat tanpa mengira di mana mereka berada dengan hanya menggunakan hujung jari sahaja. Media massa merupakan lambang kemajuan teknologi informasi dan komunikasi serta mempunyai peranan penting dalam menentukan penyampaian informasi dan saluran dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat (Sohana Abdul Hamid, 2016). Media massa dilihat dapat menyebarkan maklumat mengenai kes pemerdagangan manusia dengan cepat dan menyalurkan maklumat tentang tindakan yang boleh dilakukan oleh masyarakat sekiranya berlaku aktiviti pemerdagangan di kawasan mereka. Dengan itu, masyarakat akan lebih peka dan mengambil berat tentang isu pemerdagangan manusia. Sebagai contoh,media massa boleh menyalurkan maklumat kepada orang ramai mengenai cara melaporkan jenayah pemerdagangan manusia sama ada secara bersemuka atau melalui dalam talian. Oleh itu, pihak kerajaan perlu menggunakan media massa sebagai saluran informasi untuk menghebahkan hukuman dan denda kepada pesalah pemerdagangan manusia agar golongan yang tidak bertanggungjawab ini takut untuk melakukan kesalahan. Laman sesawang khusus juga boleh diwujudkan untuk melaporkan kes jenayah ini.\n4.\u00a0\u00a0 Meningkatkan Keselamatan Sempadan dan Pemantauan\nAktiviti pemerdagangan manusia kebiasaannya berlaku dari sebuah negara ke negara yang lain melalui jalan darat, laut atau udara. Oleh sebab itu, tahap kawalan keselamatan di kawasan sempadan dan tahap pemantauan yang lebih kerap perlu ditingkatkan lagi bagi menangani aktiviti ini. Sebagai contoh,aktiviti pemerdagangan manusia menurun sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik COVID-19 yang lalu berikutan kawalan ketat dilakukan oleh pihak berkuasa melalui kawalan di semua sempadan serta sekatan jalan raya lebih kerap di seluruh Malaysia. Kesannya, aktiviti penyeludupan manusia yang masuk ke negara kita secara haram dapat dikurangkan. Bukan itu sahaja, pihak berkuasa juga perlu mengesan \u201cjalan tikus\u201d yang digunakan oleh pihak yang melakukan aktiviti pemerdagangan manusia ini. Oleh itu, pihak berkuasa seharusnya meningkatkan lagi pemantauan keselamatan sempadan.\n5.\u00a0\u00a0 Peranan Masyarakat\nMasyarakat juga memainkan peranan penting bagi menangani isu pemerdagangan manusia kerana masyarakat setempat merupakan tulang belakang kepada kerajaan dalam mendapatkan informasi yang berkaitan dengan aktiviti pemerdagangan yang berlaku di kawasan mereka. Kerjasama dalam kalangan pihak berkuasa, badan bukan kerajaan, syarikat perniagaan dan masyarakat setempat mampu dalam menyelesaikan kes jenayah (Farah Suhaidah Othman, 2017). Sebagai contoh, masyarakat setempat perlu peka terhadap kawasan sekeliling seperti kawasan ladang, kilang dan di mana-mana sahaja jika mengesyaki berlaku sebarang aktiviti pemerdagangan manusia serta segera melaporkannya kepada pihak berkuasa. Hal ini sudah semestinya serba sedikit dapat membantu pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat awal mengenai aktiviti pemerdagangan manusia.\nTegasnya, isu pemerdagangan manusia ini seharusnya diberi perhatian kerana membabitkan penganiayaan terhadap golongan yang tidak bersalah. Pelbagai tindakan boleh dilakukan serta dipertingkatkan lagi bagi membanteras aktiviti pemerdagangan manusia di dalam dan luar negara. Oleh itu, semua pihak diharap dapat berganding bahu dalam usaha membanteras aktiviti pemerdagangan manusia daripada terus berlaku agar tidak memberikan kesan buruk kepada negara dan masyarakat pada masa hadapan." "Melestarikan Tulisan Jawi dalam Era Digital\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPermatang Pauh, Pulau Pinang \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU)dengan kerjasama Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang telah menganjurkan program Bual Bicara Pelestarian Tulisan Jawi dalam Era Digital bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2022 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung pagi kelmarin di Dewan Kuliah Utama, Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang.\nMenerusi program ini, Encik Nazri Othman, iaitu Munsyi Dewan (Jawi) bertindak sebagai moderator manakala tiga orang panel pembicara pula terdiri daripada Encik Abdul Karim Aziz (Munsyi Dewan (Jawi)), Encik Zulkifli Azit dan Puan Nor Hanani Aminah Mahmud. Mereka membicarakan topik yang menarik tentang sejarah perkembangan, pengkaedahan tulisan Jawi, penyebaran tulisan Jawi dalam era digital dan perkembangan teknologi maklumat.\nDalam program tersebut, Encik Abdul Karim Aziz menjelaskan tentang sejarah perkembangan tulisan Jawi dengan kedatangan Islam di Tanah Melayu dan peranan tulisan Jawi, perbezaan tulisan Jawi dahulu dan kini dan serta proses penyempurnaan tulisan Jawi.\nSelain membicarakan tentang sejarah perkembangan tulisan Jawi dan peranannya, Encik Zulkifli Azit turut berkongsi tentang pengkaedahan Jawi dengan beberapa ejaan perkataan yang sering menjadi kekeliruan seperti perkataan \u201cterowong\u201d, iaitu ejaan Jawi sebetulnya ialah \u201c\u062a\u0631\u0648\u0648\u0648\u06a0\u201d dan bukanlah \u201c\u062a\u0631\u0648\u06a0\u201d atau \u201c\u062a\u0631\u0648\u0648\u06a0\u201d. Begitu juga perkataan \u201crempeyek\u201d dengan ejaan Jawi yang betul, iaitu\u00a0 \u201c\u0631\u0645\u06a4\u064a\u064a\u064a\u0642\u201d dan bukanlah \u201c\u0631\u0645\u06a4\u064a\u062a\u201d atau \u201c\u0631\u0645\u06a4\u064a\u064a\u06a9\u201d. Pelbagai aktiviti penyebaran tulisan Jawi turut dijalankan secara interaktif menerusi aplikasi di internet, media massa \u00a0dan media sosial.\nPenggunaan teknologi \u00a0maklumat ini turut digunakan dalam melestarikan tulisan Jawi dengan mendapatkan \u00a0ejaan \u00a0Jawi yang betul menerusi kamus yang terdapat dalam laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). Menurut Puan Nor Hanani Aminah Mahmud, terdapat kaedah merujuk ejaan yang tepat secara dalam talian menggunakan teknologi maklumat seperti penggunaan di internet dan aplikasi di telefon mudah alih selain penggunaan video tentang pembelajaran tulisan Jawi di media sosial.\nSehubungan dengan itu, tulisan Jawi harus dipelajari melalui penggunaan buku sebagai rujukan selain penggunaan teknologi maklumat yang mudah diakses pada hari ini yang memudahkan \u00a0kaedah menulis Jawi. Penggunaan tulisan Jawi yang meluas oleh masyarakat menunjukkan bahawa tulisan Jawi masih mengikut peredaran masa dan seiring dengan kecanggihan teknologi dalam era digital.\nProgram ini diadakan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dan melestarikan tulisan Jawi sebagai salah satu sistem tulisan bahasa Melayu yang perlu dipertahankan dan dipelihara sebagai warisan yang tidak luput ditelan zaman dan merupakan khazanah bangsa yang tidak harus dilupakan oleh generasi pada hari ini. Oleh hal yang demikian, program ini memberikan pendedahan dan perkongsian ilmu tentang tulisan Jawi kepada generasi muda khususnya peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah dan politeknik yang akan \u00a0mempraktikkan teknologi maklumat dalam menulis Jawi dengan betul.\nAntara tetamu kehormat yang hadir termasuklah Pengarah DBPWU, Encik Rahimi Arifin dan Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Seberang Perai, Ts. Dr. Zulhadi Zakaria yang turut disiarkan secara dalam talian menerusi media sosial Politeknik Seberang Perai dan Dewan Bahasa dan Pustaka." "Penjelasan KPM Mengenai Insiden Jeti Roboh di Kampung Pababag\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSemporna- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa insiden jeti roboh di Kampung Pababag, Semporna, Sabah melibatkan lebih kurang 25 orang murid sekolah termasuklah murid tabika KEMAS dan dua \u00a0orang guru Sekolah Kebangsaan Pulau Pababag pada pukul 6.45 pagi.\nLaporan awal yang diperoleh dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna mendapati insiden tersebut berlaku semasa murid sedang menaiki jeti di kampung untuk ke sekolah. Akibat daripada runtuhan tersebut, dua orang murid cedera ringan manakala mangsa lain dilaporkan selamat.\nKPM melalui PPD Semporna juga telah mengambil langkah dengan menyiasat punca kejadian dan menyediakan bantuan segera kepada semua mangsa yang terlibat. \u00a0Pihak KPM memandang serius terhadap insiden tersebut dan akan memastikan aspek keselamatan ditingkatkan dengan mewajibkan pemakaian jaket keselamatan dan keadaan struktur jeti yang selamat digunakan.\nKPM juga akan mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh serta pihak berkuasa tempatan dalam waktu terdekat untuk membincangkan cadangan penambahbaikan infrastruktur di jeti sedia ada bagi memastikan agar kejadian seperti ini tidak berulang. Usaha untuk memberikan bantuan sokongan psikososial terhadap guru dan murid yang menjadi mangsa akan terus digiatkan.\nPada masa yang sama, KPM juga akan memohon pihak kerajaan tempatan untuk menyediakan laluan alternatif yang lebih selamat untuk murid, ibu bapa dan guru ke sekolah demi memastikan keselamatan dan kebajikan murid terjamin pada masa akan datang." "Bazar Buku Kedah 2023 Dimeriahkan dengan 20 000 Pengunjung\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAlor Setar \u2013 Hampir 20 000 orang berkunjung Ke Bazar Buku Kedah 2023 setelah berlangsung selama lima hari di Kompleks Star Parade Alor Setar, Kedah yang berakhir hari ini.\nOrang ramai, termasuklah pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Syed Ahmad dan Sultan Abdul Halim Jitra turut hadir bagi menyaksikan pelbagai acara disusun.\nPenganjuran ini buat julung kali diadakan oleh Persatuan Penyelidikan dan Pembudayaan Sejarah Negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang (PESKAP).\nPengerusi Bazar Buku Kedah, Abdul Hadi Mat Taib berkata, pihaknya gembira kerana usaha yang dilakukan telah mendapat sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak, termasuklah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara dan Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS).\nSebanyak 20 reruai pameran buku disediakan melibatkan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (Malim), Farhana Book Resources, Sri Ayu Publishers & Distributors, UUM Press, RNZ Media Sdn. Bhd., Bitara Media dan lain-lain lagi.\n\u201cDi\u00a0Bazar Buku Kedah ini, pengunjung boleh melihat dan membeli buku kesukaan masing-masing, termasuklah buku terbitan DBP dengan diskaun yang menarik.\n\u201cPihak penganjur amat berpuas hati kerana hampir 20 000 pengunjung hadir bagi melihat acara pentas seperti program keluarga ceria, deklamasi puisi, teater persilatan serta lain-lain lagi,\u201c katanya.\nPenolong Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Kedah, Fahmi Che Mat melakukan Pelancaran Buku Kumpulan Drama Pentas, Sepatu hasil karya Joe K.A.S terbitan DBP.\nHadir memeriahkan lagi majlis tersebut ialah Pengarah DBP Wilayah Utara, Nurul Julia Alani Henry, Pengurus Pusat Seni dan Budaya Universiti Utara Malaysia (UUM), Asmawiza Hussin dan Pengurus Besar Menara Alor Setar, Zamrie Abdul Razak.\nMajlis penutupan Bazar Buku Kedah 2023 dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Negeri Kedah, Datuk Najmi Ahmad." "Meneliti, Memahami dan Menjiwai FPK\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLahirnya sebuah pendidikan di sesebuah negara bersandarkan falsafah yang ditetapkan. Meneliti, memahami dan menjiwai Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) menyatakan bahawa \u201cPendidikan di Malaysia merupakan suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.\u201d\nTahun baharu 2023 menzahirkan satu perkembangan dan ekosistem baharu dalam pentadbiran negara. Namun begitu, amat penting untuk dinyatakan bahawa aspek pendidikan tidak seharusnya dipolitikkan. Pendidikan menjadi asas pembinaan modal insan negara dan digariskan dalam Visi Kementerian Pendidikan Malaysia, iaitu \u201cPendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera\u201d dan Misi \u201cMelestarikan Sistem Pendidikan yang Berkualiti untuk Membangunkan Potensi Individu bagi Memenuhi Aspirasi Negara\u201d. Kita juga amat bersyukur telah mempunyai satu gagasan yang kukuh yang dimeterai dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2023 (Pendidikan Prasekolah hingga Lepas Menengah). Pelan ini telah menyediakan kerangka pembangunan yang menyeluruh untuk menzahirkan transformasi sistem pendidikan secara pantas dan mapan sehingga tahun 2025.\nKenyataan Menteri Pendidikan YB, Fadhlina Sidek menzahirkan Pendidikan merupakan satu wadah utama bagi menyerlahkan potensi individu sekali gus melahirkan insan yang berilmu, bertanggungjawab dan menyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraan ummah. Beliau juga menyatakan bahawa \u201cLandasan penting untuk kita melihat kejayaan atau keberkesanan dan impak adalah dengan merujuk pada laporan Pelan Pembangunan Pendidikan yang akan berakhir pada tahun 2025. Yang paling penting kini, KPM akan memastikan apa-apa sahaja dasar yang hendak diperkenalkan selepas ini perlu diteliti dengan sebaik-baiknya termasuklah soal infrastruktur yang lengkap dan ekosistem pembelajaran yang sistematik,\u201d jelas beliau semasa siaran rancangan Dimensi Baharu KPM di Bernama TV.\nHakikat yang jelas kepada seluruh warga Malaysia adalah untuk meneliti, memahami dan menjiwai Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang sebenar. Falsafah ini perlu menjadi pegangan yang kuat di setiap peringkat murid, guru, pentadbir sekolah, komuniti ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhannya. Kalau kita lihat secara berperingkat, terdapat lima fokus yang perlu diberi keutamaan iaitu pertama, kita melihat bahawa FPK menyatakan hasrat untuk memupuk insan seimbang dan harmonis melalui kesepaduan ilmu melalui pendidikan secara berterusan. Kedua, elemen asas jasmani, intelek, rohani dan emosi (JIRE) telah disepadukan dan diseimbangkan secara harmonis. Ketiga, asas utama kesepaduan JIRE untuk melahirkan insan seimbang dan harmonis adalah berpaksikan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Keempat, hasil dari ini akan memperlihatkan keberadaan \u2018kesejahteraan diri\u2019 bagi setiap individu melalui sistem pendidikan Malaysia, dan Kelima, kesudahannya individu tersebut berupaya menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara; begitu jugalah terhadap dunia sejagat.\nKelima-lima fokus ini tersusun dengan tertib dan rapi bagi membolehkan setiap individu terdidik peringkat demi peringkat sebagai seorang insan (bukan \u2018modal insan\u2019) seimbang yang berupaya menyumbang atas dasar ilmu yang diperoleh serta nilai yang seimbang. Menelusuri sejarah FPK ini , FPK digubal pada tahun 1988 dan semak semula pada 1996. FPK dikategorikan holistik dari perspektif dan hasrat UNESCO khususnya dalam mengungkapkan pendidikan abad ke-21 mengikut empat \u2018tiang pembelajaran\u2019 yang diuar-uarkan badan tersebut merangkumi: learning to know, learning to do, learning to be serta learning to live together.\nHala tuju pendidikan KPM pada ketika ini meletakkan tujuh teras dalam mengemudi sistem pendidikan negara memerlukan sinergi di antara guru, murid, ibu bapa dan komuniti. Pertama; Menjadikan Komunikasi antara Kementerian dan Sekolah Lebih Cekap dan Telus, Kedua; Memberi Penekanan kepada Aspek Karamah Insaniah melalui Pembentukan Adab, Akhlak dan Integriti, Ketiga; memberi perhatian terhadap isu kemiskinan multidimensi murid daripada keluarga b40, Keempat; Memberi Perhatian kepada Isu Keciciran Pendidikan serta Masalah Literasi dan Numerasi, Kelima; Memberi Fokus kepada Kebajikan Guru Adalah Teras Utama Keberkesanan Penyampaian Pendidikan, Keenam; Memberi Tumpuan kepada Usaha Ubahsuai dan Naik Taraf Bangunan Sekolah Daif Terutamanya di Sabah dan Sarawak dan Ketujuh; Meningkatkan Keupayaan Pendidikan Digital di Sekolah. Dengan didatangkan bersama slogan \u201cMurid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara, Negara Sejahtera\u201d.\nSudah pasti tujuh teras ini bersandarkan penelitian, pemahaman dan menjiwai FPK yang terkandung dalam pendidikan di Malaysia. Maka, besarlah harapan seluruh rakyat Malaysia agar isu dan cabaran pendidikan masa ini dapat ditangani dengan sebaik mungkin. Semua pihak harus berganding bahu dalam mendepani arus pendidikan baharu ini." "Penyelengaraan Kem Pengakap Jalan Sungai Batu Pahat Perlu Disegerakan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar\u00a0\u2013 Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pelibatan generasi muda dalam latihan kepimpinan perlu diberikan dipergiat agar dapat melahirkan generasi yang berdaya saing, seiring dengan perkembangan pendidikan pada masa ini.\nTitah baginda, pembangunan Kem Pengakap yang bertapak di Jalan Sungai Batu Pahat perlu diberikan perhatian memandangkan tempat tersebut sering digunakan untuk aktiviti perkhemahan ahli pengakap daripada kalangan pelajar sekolah negeri Perlis dan juga dari luar negeri.\nPersekutuan Pengakap Negeri Perlis telah bertapak di situ lebih daripada 50 tahun.\nNamun begitu, infrastruktur yang kurang sempurna dan penyelenggaraan yang terhad menyebabkan aktiviti tidak dapat dijalankan dengan sepenuhnya.\nSatu kebimbangan lagi apabila situasi ini boleh mendatangkan risiko kepada pengguna kem tersebut.\nOleh yang demikian, baginda menyeru kepada semua pihak agar bekerjasama dalam usaha membantu memajukan pergerakan Pengakap di Negeri Perlis ini, demi mencurahkan bakti kepada anak-anak Pengakap kita.\nDemikianlah titah Raja Muda Perlis\u00a0dalam kenyataan ketika berkenan menyempurnakan Majlis Penganugerahan Bintang dan Pingat, Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis 2023 yang diadakan di Dewan Serbaguna Jabatan Perhutanan Negeri Perlis di Bukit Ayer, Sungai Batu Pahat, semalam.\nDalam majlis tersebut, Raja Muda Perlis\u00a0berkenan menganugerahkan bintang dan pingat Pengakap Perlis kepada 143 orang penerima,\u00a0termasuklah\u00a0lima orang dari Thailand kerana jasa dan khidmat bakti mereka kepada Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis dan juga Pergerakan Pengakap.\nKeberangkatan tiba baginda selaku Presiden DiRaja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis disambut oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara,\u00a0Haji Nasarudin Haji Shamsudin dan Ketua Pesuruhjaya l Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis,\u00a0Dr. Azmi Abdullah.\nHadir bersama-sama baginda dalam majlis penganugerahan itu ialah Timbalan Yang DiPertua Majlis Pengakap Negara, Dato\u2019 Haji Ahmad Shazilly Ismail Bakti,\u00a0Naib Yang DiPertua Majlis Pengakap Negara, Datuk Haji Zamani Tambichek dan Pengurusan Tertinggi Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis.\nDalam perkembangan yang sama, baginda berkata, \u201cUntuk melatih generasi muda,\u00a0iaitu ahli Pengakap, kita juga harus memperkasa kemahiran kepimpinan kepada pemimpin Pengakap. Pendedahan dan latihan kepimpinan yang baik mampu meningkatkan lagi kompetensi mereka.\u201d\nOleh itu, Jabatan Pendidikan Negeri diseru untuk terus menerus memberi sokongan sepenuhnya dalam usaha meningkatkan ilmu kemahiran kepimpinan untuk guru Pengakap yang berada di sekolah." "Program Hasta La Vista, Platform Graduan Mengetahui Alam Pekerjaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani \u2013\u00a0Sebanyak 73 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia, Fakulti Pengurusan dan\u00a0Perniagaan,\u00a0Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Kedah mengikuti Program Hasta La Vista 2023\u00a0di Dewan Sri Merbok UiTM Merbok,\u00a0semalam.\nMenurut penganjur, Hasta La Vista adalah bermaksud selamat tinggal\u00a0atau jumpa lagi dalam bahasa Spanish.\nKetua program, Muhammad Arif Ikhwan Aminuddin berkata, pelajar Semester 6, iaitu pelajar semester akhir\u00a0wajib mengikuti\u00a0program ini\u00a0bagi memenuhi syarat kursus HR666 (latihan amali\u00a0HR).\n\u201cProgram ini merupakan satu daripada persediaan awal kepada pelajar semester akhir sebelum menempuhi alam pekerjaan dalam bidang pengurusan sumber manusia bagi memenuhi pihak industri.\u201c\n\u201cTerima kasih kepada pihak yang terlibat kerana memberikan\u00a0ceramah secara terperinci berkaitan dengan ciri kepimpinan yang harus dimiliki oleh graduan UiTM,\u201c kata\u00a0beliau.\nTerdahulu, Profesor\u00a0Madya Ts.\u00a0Dr. Asmadi Mohammed Ghazali dari UiTM dalam ceramahnya mengatakan bahawa terdapat pelbagai cabaran yang perlu dilalui oleh pelajar, terutamanya menempuhi era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0)\u00a0ini.\nBeliau turut menekankan mengenai kompetensi pemimpin dari aspek ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap yang perlu dikuasai oleh graduan dengan mengambil contoh kepimpinan Rasulullah SAW yang bercirikan insaniah, tawaduk\u00a0dan mahabbah.\n\u201cPelajar UiTM perlu juga mengetahui tentang tujuh\u00a0kemahiran pekerjaan yang diperlukan oleh pihak industri, termasuk kemahiran menyesuaikan diri (fleksibiliti);\u00a0celik teknologi;\u00a0kreativiti dan\u00a0inovasi;\u00a0kemahiran maklumat;\u00a0kemahiran pemikiran teknikal; kemahiran kepimpinan dan kecerdasan emosi.\n\u201cJika perkara Itu dihayati dengan penuh minat, seronok sekali bagi sesiapa sahaja menempuh kerjaya dalam bidang perindustrian di negara ini,\u201c ujar beliau mengakhiri ucapan dalam program tersebut." "Sistem Pendidikan Harus Seiring dengan Peredaran Masa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 \u201cMentaliti Rakyat Kelas Pertama dalam Segala Tindakan\u201d melalui Program Digitalisasi Jamalullail dan Faizuddin Center of Educational Excellence (FCoEE) diharap akan dapat direalisasikan menerusi Kepercayaan atas kebolehan diri sendiri (self believe), Keyakinan diri yang tinggi (self confidence), Peningkatan harga diri (self esteem), dan Motivasi yang tinggi untuk kekal berjaya (self motivation).\nDemikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan \u201cMajlis Apresiasi Akar Tunjang Kemenjadian Murid Tahun 2022\u201d anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Perlis yang diadakan di Dewan 2020 Kangar pada malam semalam.\nPada majlis yang sama, baginda turut berharap agar cogan kata \u201cMy School My Playground\u201d akan dapat dilaksanakan dengan kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang terkini serta penerapan budaya sekolah penyayang yang lebih berhemah untuk semua golongan murid. Kemahiran Kalis Masa Hadapan (KKMH) yang diterapkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perlis seperti kemahiran Teknologi Maklumat dan Pengurusan Acara akan mampu membuka peluang awal kepada para pelajar untuk melibatkan diri dengan aktiviti seperti pemasaran produk secara dalam talian dan mempengerusikan majlis formal di sekolah.\nTambah baginda,\nPara tenaga pengajar di sekolah dan juga staf di Jabatan Pendidikan Negeri boleh mengambil kira dan mengadaptasi sistem pendidikan dari Australia dan New Zealand. Hal ini dikatakan demikian kerana sistem pendidikan mereka adalah berlainan berbanding dengan sistem yang sedang diterapkan di sini. Sistem pendidikan mereka lebih mengutamakan konsep pembelajaran amali (hands on), seperti bersama-sama rakan sekelas untuk menyiapkan projek yang diberikan. Pendekatan tersebut telah terbukti berkesan untuk menarik minat para pelajar berbanding dengan hanya berada di dalam kelas sahaja.\nSistem pendidikan di Malaysia dan di negeri Perlis, khususnya sentiasa mempunyai ruang dan peluang untuk ditambah baik agar dapat kekal relevan untuk para pelajar, selari dengan peredaran masa kini.\nKeberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Cikgu Naharudeen Othman. Hadir sama ialah YAB Mohd Shukri Ramli, Menteri Besar Negeri Perlis." "Kepentingan Perpaduan dalam Membentuk Sebuah Negara Maju\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerpaduan amat penting dalam pembangunan sesebuah negara, sama ada negara tersebut merupakan negara maju, membangun mahupun sedang membangun. Hal ini demikian kerana kesatuan dan kesepakatan antara rakyat amatlah penting dalam membentuk sesebuah negara maju yang aman tanpa konflik yang menyebabkan berlakunya pertumpahan darah dan mengakibatkan kehancuran negara tersebut. Menurut Kamus Dewan Perdana, perpaduan merupakan penyatuan dan darjah, serta jenis penyatuan yang dipamerkan oleh sesebuah masyarakat, ataupun kumpulan dan jiran. Perpaduan amatlah penting dalam membentuk sesebuah negara yang maju. Tanpa perpaduan, amat mustahil kemajuan dan kesejahteraan hidup rakyat boleh dicapai.\nAntara kepentingan perpaduan dalam membentuk sesebuah negara yang maju termasuklah mampu meningkatkan ekonomi di sesebuah negara. Dengan wujudnya masyarakat yang aman dan harmoni, mampu menarik pelabur asing untuk melabur dan menjalankan aktiviti perdagangan di sesebuah negara. Kemasukan pelabur asing mempengaruhi kadar pertukaran wang asing yang membantu\u00a0 kepesatan ekonomi di sesebuah negara. Sejak kebelakangan ini, Malaysia mengalami ketegangan politik yang menyebabkan pelabur asing menarik semula pelaburan mereka di Malaysia kerana risau akan berlakunya sesuatu di luar jangkaan pelabur asing dan seterusnya menyebabkan kerugian kepada mereka. Namun kini, dek keharmonian yang diwujudkan menyebabkan pelabur asing tertarik semula untuk menyertai pelaburan di negara Malaysia. Hal ini mampu mengelakkan berlakunya peningkatan kadar pengangguran serta kehilangan pelaburan yang bernilai berbilion ringgit dan kesan pengganda dari segi penciptaan peluang pekerjaan dan pembinaan infrastuktur.\nSelain itu, perpaduan mampu meningkatkan imej negara. Apabila wujudnya perpaduan dalam sesebuah negara, negara tersebut akan dipandang tinggi oleh negara lain atas kestabilan dan keharmonian yang dimiliki. Sebagai contoh, Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum mampu menjadi suri teladan kepada negara lain. Malaysia mempunyai beberapa kaum utama, iaitu Cina, Melayu dan India. Namun begitu, tidak wujud sebarang pergaduhan atau perbalahan antara ketiga-tiga kaum tersebut. Hal ini menjadikan Malaysia sebagai penanda aras kepada negara lain yang sedang membangun atas semangat perpaduan, kestabilan dan keharmonian antara masyarakat yang dimiliki. Walaupun Malaysia masih lagi tergolong di bawah negara yang sedang membangun, berbekalkan\u00a0 keharmonian dan kesejahteraan masyarakat, Malaysia tampil menjadi negara yang disegani dan dihormati oleh negara maju yang lain.\nSeterusnya, perpaduan juga dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni.\u00a0 Kewujudan masyarakat yang harmoni mampu mewujudkan perpaduan yang kuat dan kukuh dalam sesebuah negara. Kestabilan politik di sesebuah negara juga dipengaruhi oleh masyarakat yang harmoni, apabila semua pemimpin akan bersatu padu tidak mengira kaum, bangsa dan warna kulit dalam memacu kepimpinan negara. Sebagai contoh, Mohd Afendi Daud & Junaidi Awang Besar (2016) menyatakan negara Afrika Selatan pada tahun 1948 hingga 1991 telah mengamalkan Dasar Apartheid, iaitu kaum kaum kulit hitam dianggap sebagai lebih rendah dan diberikan layanan kelas kedua dari segi politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan kebudayaan. Hal ini menyebabkan tiada perpaduan dalam negara tersebut dan wujud perbalahan antara rakyat yang menyebabkan kemusnahan di negara mereka. Oleh sebab itu, perpaduan antara rakyat amatlah penting dalam membentuk sesebuah negara yang maju.\nDi samping itu, kepentingan perpaduan kaum dalam masyarakat juga dapat menarik kedatangan pelancong asing ke dalam negara. Satu daripada sumber ekonomi negara adalah melalui sektor pelancongan yang dapat menjanakan ekonomi di sesebuah negara. Asas perpaduan yang kukuh dan budaya yang unik, di samping kepelbagaian adat resam yang membentuk identiti sesebuah masyarakat dapat memikat hati pelancong untuk berkunjung. Sebagai contoh, pelancong amat tertarik dengan kepelbagaian kaum di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum yang ada\u00a0 seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan lain-lain etnik yang mempunyai budaya, adat serta tradisi tersendiri yang dapat ditunjukkan kepada pelancong asing. Oleh itu, dapat dilihat bahawa perpaduan bukan sahaja dapat membentuk sebuah negara maju, malah dapat menarik kedatangan pelancong asing yang dapat memberikan keuntungan terhadap sesebuah negara.\nPada masa yang sama, perpaduan juga mampu menjamin keselamatan negara. Hal ini dikatakan demikian kerana, apabila rakyat sentiasa bersatu padu, unsur atau pengaruh luar tidak dapat menceroboh pemikiran rakyat kerana perpaduan mampu menyatukan pemikiran dan hati masyarakat dalam sesebuah negara. Sebagai contoh, dalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, rakyat dibenarkan memilih pemimpin negara yang mampu menjaga negara dan memegang amanah serta menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin. Jika rakyat tidak bersatu hati dalam memilih pemimpin, maka akan berlaku ketegangan dan pergaduhan. Hal ini akan mengundang bahaya kepada negara jika pemimpin yang menang terdiri daripada pemimpin yang tidak bersifat berjiwa rakyat dan bersikap pilih kasih.\u00a0 Jika rakyat tidak bersatu hati dalam memilih pemimpin, maka akan wujud pengaruh negatif yang membolehkan sebuah negara dijajah dan aset atau rahsia negara dijual kepada negara luar yang menyebabkan berlakunya kehancuran terhadap negara. Oleh sebab itu, perpaduan amatlah penting dalam menjamin keselamatan negara dan mampu membentuk sebuah negara yang maju.\nTuntasnya, perpaduan menajdi elemen penting dalam membentuk sesebuah negara maju. Setiap negara perlu berusaha memastikan perpaduan diwujudkan dalam masyarakat agar negara diiktiraf sebagai sebuah negara maju dan memiliki rakyat minda kelas pertama. Oleh itu, semua pihak perlu cakna dalam memastikan perpaduan dapat dikekalkan antara kaum dan bangsa dalam negara. Perpaduan bukan sahaja dapat membentuk negara maju, malah perpaduan turut memupuk semangat cinta dan sayang dalam kalangan\u00a0 masyarakat ." "UiTM Cawangan Perlis Terus Mendukung Perancangan Strategik melalui Kerjasama dengan Institusi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau\u00a0\u2013\u00a0Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis terus mendukung perancangan strategik UiTM ke arah \u201cGlobally Renowned University 2025\u201d\u00a0melalui pelbagai inisitif baharu.\nTerbaharu, dalam mendukung aspirasi 2023 ke arah perancangan \u201cGlobally Marketable University\u201c, UiTM Cawangan Perlis terus mencorak peranan melalui kerjasama baharu dengan institusi di dalam dan luar negara. Jaringan kerjasama ini mampu mempergiat jaringan hubungan kerjasama dengan menandatangani Letter of Intention (LoI) Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI), Universiti Malaysia Sains Komputer dan Kejuruteraan (UNIMY) dan Net Geometry Sdn. Bhd. dalam majlis ringkas pada Sabtu yang lepas.\nPenandatanganan LoI menjurus kepada pelaksanaan pelbagai bentuk kegiatan seperti pertukaran pelajar, penempatan pelajar latihan praktikal, pertukaran tenaga dan kepakaran akademik dan aktiviti kolaborasi seminar, penyelidikan dan penerbitan.\nSesi penandatanganan LoI ini dilakukan oleh YBhg. Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, Rektor UUI, Profesor Adjunct Dr. Marniati M. kes, Naib Canselor UNIMY, Profesor Madya Ts. Dr. Zulkarnain Kedah dan Puan Afifah Azahar selaku wakil Net Geometry Sdn. Bhd.\nTurut hadir menyaksikan penandatangan LoI berkenaan ialah Pengerusi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE), Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamaruddin Hussin, Dedi Zefrizal, S.T, Pengerusi Yayasan Ubudiyah, serta pegawai-pegawai utama daripada ketiga-tiga institusi dan industri berkenaan.\nDalam ucapan alu-aluan, YBhg.\u00a0Rektor UiTM menjelaskan bahawa dengan penandatanganan LoI itu, akan dapat mengembangkan dan menyebarluaskan lagi ilmu pengetahuan serta kepakaran yang dimiliki oleh ketiga-tiga rakan strategik ini.\nUiTM Cawangan Perlis amat mengharapkan dukungan dan bantuan rakan strategiknya untuk mengembangkan kerjasama khususnya dalam bidang teknologi seperti teknologi maklumat, kejuruteraan perisian, pengkomputeran perniagaan dan lain-lain." "MAIPs Meneruskan Dana kepada A-Heart UniMAP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra \u2013 Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyumbangkan sebanyak RM20 000 bagi membantu mengukuhkan dana Pusat Autisme (A-Heart) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) supaya dapat beroperasi dengan lebih baik.\nPenyerahan tersebut diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs kepada Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Dr. Zaliman Sauli dan Pengerusi PISKANITA UniMAP Datin Azliza Ahmad sempena Majlis Santapan Hi-Tea Amal \u2018Limpahan Kasih\u2019 yang dianjurkan oleh Persatuan Isteri Dan Kakitangan Wanita UniMAP (PISKANITA) bersama-sama A-Heart UniMAP di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra.\nBerkenan berangkat ke majlis berkenaan ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor UniMAP.\nSumbangan berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif MAIPs dalam usaha untuk bersama-sama membantu menjayakan inisiatif pendidikan dan dakwah melalui sumbangan kepada pusat-pusat kebajikan dan pendidikan.\nMenurut MAIPs, beberapa inisiatif yang berkaitan dengan pendidikan kepada golongan berkeperluan telah disalurkan MAIPs melalui kerjasama pelbagai pihak berstrategik seperti Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Jabatan Mufti Negeri Perlis, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis, Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis, Institusi-Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) MAIPs dan pelbagai pihak berkepentingan yang lain.\nPada masa yang sama, MAIPs turut bekerjasama sebagai Rakan Sokongan bagi penubuhan Pusat Genius Kurnia Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Negeri Perlis dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis sebagai Rakan Strategik." "Kebertanggungjawaban terhadap Berita \u2013 Presiden Joko Widodo\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMedan \u2013 Presiden Indonesia Joko Widodo mengucapkan selamat Hari Pers Nasional (HPN) kepada seluruh pengamal media Indonesia yang menyambutnya pada hari ini, iaitu 9 Februari 2023 di Gedung Serbaguna Pemerintah Provinsi Sumatra Utara, Kabupaten Deli Serdang, Medan, Indonesia. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Pers kerana jasa dan bakti mereka kepada bangsa dan negara kerana Pers merupakan aset penting penting dalam menyuarakan ajakan perjuangan kemerdekaan, menyuarakan inovasi pembangunan dan menjadi pejuang utama demokrasi.\nDalam ucapan perasmi HPN pada hari ini, Presiden Joko Widado menyatakan bahawa \u201cdunia Pers tidak sedang baik-baik sahaja.\u201d \u00a0Tambah beliau:\nDulu isu utama dunia Pers adalah kebebasan Pers. Selalu itu, kita suarakan. Sekarang apakah isu utamanya tetap sama? Menurut saya sudah bergeser (berubah), kerana kurang bebas apalagi kita sekarang ini?\nMenurut Presiden Joko Widodo, isu Pers dahulu berkisar tentang kebebasan media, nampu Pers kini perlu memberikan tumpuan terhadap pemberitaan yang bertanggungjawab. Hal ini demikian kerana pada masa ini masyarakat telah kebanjiran berita daripada pelbagai medium digital termasuklah media sosial.\nTambah beliau lagi, perkara ini terjadi disebabkan perkembangan teknologi dan kandungan berita turut dihasilkan oleh teknologi kecerdasan buatan. Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa algoritma raksasa digital yang cenderung mementingkan kepentingan aspek komersial semata-mata turut memberikan kesan terhadap dunia media pada masa ini. Oleh itu, beliau mengingatkan pengamal media agar bertanggungjawab terhadap berita yang disalurkan kepada masyarakat.\nTerdahulu, semasa menyambut kehadiran anggota Pers di Merdeka Palace, Jakarta, pada 6 Februari, Presiden Joko Widodo menyampaikan mesej penting, iaitu selain kepentingan kebebasan akhbar, pemberitaan juga harus dilaksanakan dengan amanah dan berita yang diterbitkan perlu berita yang sah kandungannya. Dalam hal ini, beliau menasihati pengamal Pers agar sentiasa mengamalkan etika kewartawanan.\nSemasa sambutan HPN pada pagi ini, Presiden Joko Widodo turut menyampaikan cenderamata kepada Pers Indonesia yang meraih anugerah dalam penerbitan berita.\nHPN disambut pada setiap tahun pada 9 Februari bertepatan dengan Hari Ulang Tahun Persatuan Wartawan Indonesia (PWI). Sambutan hari tersebut adalah berdasarkan keputusan dan pengisytiharan yang dibuat oleh Presiden Indonesia ke-5 pada tahun 1985.\nBersempena dengan sambutan HPN pada 9 Februari 2023, Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) cabang Kuala Lumpur turut menyertai sambutan hari tersebut yang diadakan di Medan, Indonesia pada pagi ini. Pihak ISWAMI diketuai oleh Dato\u2019 Mokhtar Hussain dan turut hadir ialah 22 orang pengamal media Malaysia yang terdiri daripada ketua pengarang dan pengarang kanan akhbar, televisyen dan majalah bagi mewakili media Malaysia ke HPN pada kali ini." "Segera Cari Istilah Asli\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIpoh \u2013 Tanpa bahasa, sesuatu perkara atau maklumat tidak dapat disampaikan. Bahasa merupakan ayat yang membantu menterjemahkan idea abstrak kepada orang lain. Tanpa bahasa menerusi pertuturan, seseorang itu perlu melakukan pergerakan dalam bahasa isyarat agar mesej difahami orang lain.\nSehubungan dengan itu, menurut Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak, iaitu Tan Sri Prof. Dato\u2019 Dr. Nordin Kardi, ahli antropologi tidak mementingkan bunyi sesuatu perkataan atau ayat yang disebut. Hal ini dinyatakan beliau sewaktu menyampaikan Ucap Utama Dialog Utara Ke-16 (DUTA16) di sebuah hotel terkemuka di Ipoh pada 24 September 2022.\nTanpa mengira disebut secara baku atau biasa, yang penting bagi mereka ialah pesanan dapat disampaikan dengan jelas.\nBeliau juga tidak menafikan bahawa timbul juga pengertian bahasa yang berbeza daripada tiga orang yang ditemui dalam memberikan penjelasan mengenai sesuatu perkara.\nDengan tema \u201cKelestarian Alam dalam Bahasa, Sastera dan Budaya, DUTA16 bertujuan untuk meningkatkan lagi kesinambungan hubungan melalui maklumat, bahasa, sastera dan budaya serumpun dan memupuk serta memelihara persefahaman antara penulis, sasterawan dan budayawan di wilayah utara Malaysia, selatan Thailand, Sumatera Utara, dan Aceh, Indonesia dalam bidang bahasa, sastera dan budaya.\nMengenai \u201ckelestarian\u201d atau \u201clestari\u201d, Tan Sri Prof. Dato\u2019 Dr. Nordin menarik perhatian peserta DUTA16 apabila menimbulkan pertanyaan tentang istilah yang sama dalam\u00a0bahasa Inggeris.\nSaya fikir, terjemahan itu terus daripada perkataan \u201csustainable\u201c. Jika benar sedemikian, lestari merupakan istilah yang diambil dari luar. Oleh itu, orang Melayu perlu segera mencari istilah lain yang asli.\nMenganjurkan kempen seperti membina kelestarian ini, tambah beliau memang usaha yang baik. Walau bagaimanapun, akan ada pihak lain pula yang menunggu untuk mengaut keuntungan dengan menjadi pengeluar bahan-bahan keperluan yang berkaitan.\n\u201cTerlambat mencari keaslian akan membuatkan kita terus terjajah sedangkan negara telah mencapai kemerdekaan lebih enam dekad,\u201d tambah beliau yang bersetuju dengan hakikat bahawa mesej karya sastera memang disampaikan menerusi bahasa.\nMajlis Perasmian DUTA16 disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Negeri Perak, Encik Ahmad Saidi Mohamad Daud pada 23 September 2022 di sebuah hotel terkemuka dekat sini. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Changkat Jering, mewakili Menteri Besar Perak, Dato\u2019 Seri Saraani Mohamad.\nYang turut hadir dan menyampaikan ucapan ialah Ketua Satu GAPENA, Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi, yang mewakili Ketua Pengarah DBP, iaitu Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran.\nIdea DUTA dicetuskan oleh GAPENA pada tahun 1982 untuk mengeratkan ikatan persuratan di daerah berjiran di wilayah utara Malaysia (Perak Utara, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis), Selatan Thailand (Yala, Narathiwat dan Pattani), dan Utara Sumatera (Sumatera Utara dan Aceh) yang mempunyai kesamaan dari segi bahasa, budaya dan sejarahnya tersendiri.\nDUTA bermula di Pulau Pinang (1982), diikuti oleh Medan, Indonesia (1984), Arau, Perlis (1986), Medan, Indonesia (1989), Alor Setar, Kedah (1991), Banda Aceh, Indonesia (1995), Ipoh, Perak (1997), Yala, Selatan Thailand (1999), Medan-Padang Sidempuan, Indonesia (2001), Yala, Selatan Thailand (2003), Lhokseumawe, Aceh (2005), Pulau Pinang (2007), Medan, Indonesia (2013), Yala, selatan Thailand (2015), dan Banda Aceh, Indonesia (2016).\nSelepas berucap, Saidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering turut melancarkan dua buah buku, iaitu antologi puisi DUTA16 yang berjudul Sifat Rimba, dan kertas kerja Kelestarian Alam dalam Bahasa dan Sastera." "Sekolah sebagai Pusat Menyuburkan Keharmonian antara Kaum dan Agama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah merujuk kepada video sidang media yang tular di Facebook pada 8 Februari 2023 berkaitan dakwaan guru meminta murid menukar agama.\nDifahamkan KPM telah mendapatkan maklum balas awal daripada pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) berhubung dengan kenyataan video tular tersebut. Siasatan awal telah dijalankan segera bagi mendapatkan kesahihan maklumat.\nKPM turut memandang serius terhadap isu yang dilaporkan ini dan menegaskan bahawa hal agama tidak boleh dijadikan persendaan yang boleh menggugat keharmonian kaum dan negara.\nSehubungan dengan itu, siasatan lanjut dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan persendaan kaum atau agama. Pada masa yang sama, KPM juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya terdapat laporan polis dibuat mengenai isu tersebut." "ISWAMI dan PWI KALTIM Menandatangani Memorandum Persefahaman\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0Medan \u2013 Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) Malaysia dan Persatuan Wartawan Indonesia cabang Kalimantan Timur (PWI KALTIM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada petang tadi untuk melaksanakan kerjasama strategik dalam pertukaran maklumat antara kedua-dua buah negara. Bagi ISWAMI, hubungan media yang sedia terjalin antara kedua-dua negara harus dimanfaatkan sebaik-baik mungkin dalam konteks yang lebih luas terutamanya dari aspek penyaluran berita. Hal ini demikian kerana kerjasama ini secara tidak langsung dapat memperkukuh hubungan antara negara.\nBagi pihak ISWAMI Malaysia, MoU tersebut ditandatangani oleh Presiden ISWAMI, iaitu Dato\u2019 Mokhtar Hussain manakala bagi PWI KALTIM pula ditandatangani oleh Ketua PWI KALTIM, Bapak Endro S Effendi. Penandatanganan MoU tersebut ditermeterai di Medan dan disaksikan oleh Konsul Jeneral Ke-12 Malaysia Medan, Encik Aiyub Omar; Penasihat ISWAMI Malaysia, Dato\u2019 Zakaria Abdul Wahab; Timbalan Presiden Iswami Malaysia, Dato\u2019 Zulkefli Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Dato\u2019 Chamil Wariya; Pengarang Kumpulan NSTP, Dato\u2019 Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan bekas Presiden ISWAMI Malaysia, Dato\u2019 Mior Kamarulbaid Mior Shahid serta pihak ISWAMI Malaysia yang lain yang menghadiri Hari Pers Nasional (HPN) 2023 di Medan, Indonesia pada hari ini.\nDalam perkembangan yang lain, selepas menghadiri HPN 2023, pihak ISWAMI dengan delegasinya sebanyak 23 orang berpeluang mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Konsulat Malaysia di Medan.\nSemasa kunjungan tersebut, Konsul Jeneral ke-12 Malaysia Medan, Encik Aiyub Omar berkongsi maklumat tentang peranan konsul di Medan. Menurut beliau, Konsulat Jeneral Malaysia Medan banyak membantu dalam menguruskan hal ehwal berkaitan dengan kepentingan ekonomi (perdagangan) dan urusan warganegara Malaysia di situ. Misalnya, beliau turut membantu para pelajar dan pelabur Malaysia di Medan yang memerlukan bantuan dalam ruang lingkup tugasnya.\nMengulas tentang tugas yang dilaksanakan, jelas beliau:\n\u201cBanyak isu rakyat Malaysia di sini yang ditahan, yang dipenjara dan sebagainya kerana masalah isu pengedaran dadah. Jadi, kita bersama-sama membanteras dan memberikan laporan kepada negara kita.\u201d\nMenurut Encik Aiyub, Konsulat Jeneral Malaysia Medan mempunyai enam agensi dan merupakan konsulat Malaysia yang terbesar di Indonesia." "Universiti AIMST dan ZSMC Berbincang untuk Kepentingan Bersama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani \u2013 Sebanyak 36 orang delegasi, termasuk pensyarah pelbagai jabatan di Kolej Perubatan Zhengzhou Shuqing (ZSMC) dari Wilayah Henan, China, mengadakan lawatan ke Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) di Semeling, Merbok, Kedah pada hari ini.\nDelegasi tersebut diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Naib Presiden ZSMC, Dr. Wang Chen. ZSMS diwujudkan pada tahun 1984 dan pada tahun 2002 memperoleh kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Republik Rakyat China untuk menjadi satu-satunya kolej perubatan am swasta di Wilayah Henan.\nSemasa berada di sini, anggota delegasi tersebut, termasuk Pengarah Komunikasi dan Kerjasama Antarabangsa dan Dekan Pendidikan Berterusan, Xu Yingbo, Naib Pengarah Komunikasi Antarabangsa dan Kerjasama, Mao Yagang dan Pegawai Fakulti Komunikasi Antarabangsa, Dr. Aravind Raveendran turut mengadakan perbincangan khas di Tingkat 2, Bangunan Pentadbiran dengan para pegawai dari Universiti AIMST, yang diketuai oleh Prof. Datuk John. Antony Xavier.\nPegawai lain dari AIMST yang turut hadir ialah Timbalan Naib Canselornya, Prof. Madya Kanan Dr. Kathiresan V. Sathasivam, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Prof. Madya Dr. G. Prabakaran, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Hubungan Industri, Prof. Madya Dr. Sundram M. Karupiah dan lain-lain lagi.\nSebelum ini, Universiti AIMST telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan ZSMC pada bulan November 2019 untuk berkerjasama dalam bidang pengajaran, penyelidikan dan pembangunan, perkongsian kepakaran, penganjuran persidangan dan seminar mengenai bidang kepentingan bersama, latihan untuk kakitangan fakulti dan mobiliti pelajar.\nSehingga kini, ZSMC telah melatih lebih 50 000 pengamal perubatan peringkat tinggi untuk institusi perubatan, sekali gus menggalakkan pembangunan ekonomi dan sosial tempatan.\nSementara itu, Pegawai Komunikasi Korporat Universiti AIMST, K. Jayachandran berkata, melalui perbincangan bersama itu boleh menyelesaikan banyak perkara antara dua pusat pengajian tersebut. Katanya, program pertukaran antara pelajar dari kedua-dua negara dibincang bersama dan pelaksanaannya nanti dapat membantu pelajar Universiti AIMST menambah kemahiran masing-masing dalam bidang perubatan." "MAIPs Lancar Tabung Sumbangan Khas bagi Mangsa Bencana di Turkiye dan Syria 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMata Ayer \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dengan diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor, berkenan menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada seramai 101 orang asnaf yang terpilih dalam kalangan anak kariah Kampung Kok Klang dan Felda Chuping. Sumbangan tersebut diadakan di Masjid Al-Hakam, Kampung Kok Klang, Mata Ayer hari ini. Masing-masing menerima RM700 daripada baginda Tuanku.\n\u00a0\nDalam titah baginda, adalah menjadi keutamaan bagi semua pihak yang menjalankan sesuatu misi kemanusiaan untuk memastikan kepercayaan masyarakat sentiasa terpelihara serta manfaat yang ingin dicapai menjadi kenyataan.\nKepercayaan merupakan perkara yang paling penting, bahkan perkara tersebut merupakan amanah yang mesti dijaga oleh setiap yang terlibat dalam menjayakan misi kemanusiaan.\nSebagai rekod, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra telah mengetuai beberapa misi kemanusiaan antarabangsa MAIPs. Antaranya termasuklah membantu pelarian Syria di Mafraq, Jordan pada Februari 2016 dan bantuan kemanusiaan di Al-Quds pada Oktober 2018. Baginda juga merupakan Kerabat DiRaja pertama di dunia yang telah melakukan misi kemanusiaan di Kem Pelarian Rohingya di Cox\u2019s Bazar, Bangladesh pada Oktober 2017.\nKetua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor turut memaklumkan bahawa MAIPs telah melancarkan Tabung Sumbangan Khas bagi Mangsa Bencana di Turkiye dan Syria 2023 sebagai medium untuk masyarakat menyalurkan sumbangan mereka.\u00a0\nAnggota masyarakat yang ingin menyalurkan sumbangan melalui MAIPs boleh berbuat demikian dengan mendapatkan maklumat di laman portal rasmi MAIPs, www.maips.gov.my. MAIPs sentiasa menghargai para penyumbang yang selama ini tidak putus-putus memberikan amanah sumbangan mereka untuk diuruskan dalam misi kemanusiaan.\u00a0\nDalam perkembangan lain, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Tuanku Yang DiPertua MAIPs diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor berkenan mengadakan satu perbincangan secara dalam talian dengan Pengurusan Kanan NGO Misi Kemanusiaan Antarabangsa, iaitu Humanitarian Care Malaysia yang juga dikenali sebagai MyCARE, yang diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Seri Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha, Pegawai Eksekutifnya, Haji Kamarul Zaman Shaharul Anwar serta Pengurus Besar MyCARE, Roha Hassan bagi meneroka peluang serta potensi untuk bekerjasama." "Bak Sirih Pulang ke Gagang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPontian \u2013 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Kerang, hari ini menyambut dengan gemilang kehadiran YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dalam program \u201cSirih Pulang ke Gagang\u201d. Program yang dilaksanakan di Dewan Terbuka sekolah tersebut merupakan program motivasi untuk para pelajar SMK Telok Kerang, terutamanya buat pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.\nYBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang dilahirkan pada tahun 1953 di Kampung Telok Kerang, Pontian telah mendapat pendidikan awal di sekolah tersebut sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Sultan Ismail, Johor Bahru. Beliau yang merupakan tokoh bahasa terkemuka negara telah meluangkan masa bersama-sama pelajar dalam sesi perkongsian pengalaman. Dalam ucapannya, beliau menitipkan semangat kepada pelajar supaya mengetepikan soal kemiskinan untuk mencapai kejayaan selain menganggap guru sebagai ibu bapa yang wajib disantuni, dihormati dan disayangi untuk mendapatkan keberkatan dalam kehidupan. Calon SPM disarankan untuk memohon restu daripada ibu bapa sebelum memasuki dewan peperiksaan bagi mendapatkan keberkatan dan kelancaran semasa menjawab soalan peperiksaan.\nBeliau sempat berkongsi panduan mengulang kaji pelajaran, antaranya termasuklah dengan mewujudkan kumpulan belajar, mengadakan perbincangan tentang pelajaran dari rumah ke rumah dan menyediakan kad nota saku sebagai rujukan bagi memudahkan pelajar menggunakannya pada waktu senggang. Pengisian rohani juga penting bagi melengkapkan diri sebagai daya tahan emosi dengan mengamalkan bacaan surah Yasin dan solat hajat, selain doa yang berterusan sebagai persediaan menduduki SPM.\nMenurutnya lagi, pelajar haruslah menjadikan sekolah sebagai tempat yang paling sesuai untuk mengasah bakat dalam arena penulisan, perdebatan dan pendeklamasian kerana medan inilah permulaan bagi mempamerkan ketokohan pelajar agar berani tampil ke hadapan untuk membina keyakinan diri. Beliau menekankan tentang kepentingan bidang penulisan untuk menyebarkan ilmu kepada khalayak masyarakat agar ketamadunan manusia itu dapat diangkat ke peringkat antarabangsa.\nYBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan juga berkenan menyerahkan sumbangan bahan bacaan untuk keperluan Pusat Sumber SMK Telok Kerang sebagai galakan untuk menyuburkan minat membaca dalam kalangan warga sekolah.\nKehadiran beliau diiringi isteri, Datin Seri Haryani Harun yang turut menyerikan majlis dengan deklamasi puisi bersama-sama adik Nur Syura Sumagi. Hadir sama dalam program tersebut ialah Encik Mohd. Riduwan Wahab, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dan Encik Razid Sahran, Timbalan Pengarah DBPWS." "Melestarikan Keterjaminan Makanan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cRakyat boleh hidup tanpa peluru, tetapi rakyat tidak boleh hidup tanpa makanan\u201d. Demikian bait-bait perkataan yang dilontarkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), YB Mohamad bin Sabu, di tengah-tengah kemelut kekurangan bekalan telur dan isu sekuriti makanan dihadapi negara; sewaktu Majlis Amanat Tahun Baru 2023 kepada warga Kementerian. Pada ketika Kerajaan Perpaduan mula terbentuk menerusi pelantikan YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10, krisis kekurangan bekalan telur ayam berada di kemuncak apabila dilaporkan negara menghadapi kekurangan telur melebihi 150 juta biji pada bulan November 2022.\nTanpa menunggu lama, sebaik-baik sahaja diumumkan sebagai Menteri MAFS dan mendapat maklum balas dari pihak-pihak berkepentingan; YB Mohamad Sabu mengumumkan langkah drastik untuk mengimport telur sebagai pelan jangka pendek bagi menampung segera kekurangan bekalan yang semakin kritikal kerana krisis bekalan telur yang berpanjangan boleh memberi kesan ekonomi dan kehidupan kepada rakyat. Sebagai sumber protein utama kepada golongan berpendapatan rendah sehingga berpendapatan tinggi, telur ayam dan itik dikenal pasti menjadi produk makanan yang penting kerana \u00a0digunakan dalam kebanyakan proses pembuatan makanan seperti masakan, kuih-muih, kek, roti dan pelbagai sajian. Telur juga digunakan secara meluas dalam sektor industri asas tani, farmaseutikal, kosmetik dan perubatan. Dilaporkan, purata penggunaan per kapita telur ayam dan itik setiap rakyat Malaysia sebanyak 20.7 kilogram setahun.\nBagi memastikan keselamatan makanan dan memenuhi prosedur, sumber bekalan diperoleh menerusi syarikat pengeluar telur ayam dari India. Pemilihan syarikat yang berpengkalan di Tamil Nadu berasaskan keupayaannya membekal komoditi tersebut pada Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2022 di Qatar, di samping mampu memenuhi penawaran bekalan serta piawaian prosedur import dalam kadar segera.\nDi sebalik isu kekurangan bekalan telur yang heboh diperkatakan, Malaysia merupakan negara pengeluar telur ayam ketiga terbesar di Asia Tenggara selepas Indonesia dan Thailand. Pada tahun 2021, Kadar Sara Diri (SSL) bagi telur ayam dan itik negara mencatat 114 peratus. Negara juga direkodkan mengeksport telur ayam dan itik pada 2021 sebanyak 1,873 juta biji berbanding 1,701 juta biji pada 2020. Namun begitu, mengapakah krisis bekalan telur masih berlaku di negara ini?\nMengikut sumber peruncitan, krisis bekalan telur dikesan mula berlaku pada pertengahan tahun lalu apabila bekalan harian di pasaran tidak konsisten. Sesetengah peruncit telah mengehadkan jumlah penjualan papan (tray) telur kepada pengguna. Pada Oktober 2022, kekurangan bekalan dilaporkan sebanyak 118.2 juta biji dan semakin kritikal pada November 2022 apabila kekurangan hampir 157.5 juta biji.\nMengikut sumber perladangan, terdapat beberapa sebab yang membawa kepada masalah bekalan telur menjadi kritikal pada penghujung tahun 2022. Pergantungan seratus peratus bekalan makanan ternakan kepada sumber import, wabak penyakit COVID-19, kekangan tenaga buruh ladang dan penyakit ternakan ayam dikenalpasti sebagai faktor yang menjadikan krisis kekurangan bekalan semakin meruncing.\nMakanan ternakan memainkan peranan penting dalam industri penternakan ayam penelur. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap nutrien seperti protein, karbohidrat dan mineral yang diperlukan bagi menjamin kuantiti dan kualiti telur yang dihasilkan. Sumber nutrien ini pula berasaskan kepada beberapa komposisi sumber bahan mentah seperti jagung, kacang soya, gandum, minyak sawit, mineral dan vitamin. Bagi setiap bahagian makanan yang diproses; 50 peratus mestilah terdiri daripada jagung, 25 peratus kacang soya, 3 peratus gandum dan baki peratus lagi daripada bahan minyak sawit, mineral dan vitamin.\nIndustri penternakan ayam di negara ini termasuklah ayam penelur masih bergantung pada sumber luar negara bagi mendapatkan bahan mentah untuk diproses menjadi makanan. Negara mengimport jagung bijirin yang merupakan sumber protein utama dalam makanan ternakan hampir seratus peratus atau kira-kira dua juta tan setahun dari negara Argentina, Brazil dan Amerika Syarikat (AS), manakala sumber tenaga yang terjana daripada gandum bijirin pula diimport dari negara Ukraine, Kanada dan Australia. Berbanding ayam pedaging (broiler chicken) di mana kos makanan di sekitar 60-70 peratus; kos makanan ayam penelur (layer chicken) merangkumi 75-80 peratus daripada kos pengeluaran. Justeru kenaikan harga makanan dari RM80 setiap beg kepada RM120 bagi setiap beg menyumbang kepada peningkatan kos pengeluaran telur ayam. Peningkatan kos menyebabkan margin keuntungan bagi setiap pengeluaran menipis dan seterusnya membebankan penternak.\nPandemik COVID-19 yang melanda dunia pada 2020 dan 2021 menjadi faktor yang turut memberi kesan kepada industri penternakan negara. Bagi mengekang penularan COVID-19 pada fasa permulaan wabak, negara telah melaksana beberapa kawalan pergerakan iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP fasa Bersyarat dan PKP fasa Pemulihan. Pelaksanaan siri PKP yang bukan sahaja dikenakan di Malaysia sebaliknya merangkumi seluruh dunia menyebabkan industri makanan terjejas termasuk pembekalan ayam penelur di mana pengimportan dan pengangkutan makanan ternakan ke ladang-ladang ternakan ayam di negara ini mengalami kekangan. Kesemua urusan pengimportan, penghantaran dan pemindahan makanan ternakan memerlukan kelulusan tertentu daripada pihak berkuasa. Dalam tempoh PKP juga, banyak kantin-kantin sekolah, asrama pekerja, kilang-kilang dan gudang-gudang yang menjadi sumber pemasaran telur terpaksa ditutup. Ekoran itu, kebanyakan syarikat penternakan ayam penelur terpaksa mengstruktur pelan pemeliharaan anak ayam, ayam dara (pullet) dan ayam penelur (layer). Pelan pengstrukturan turut melibatkan ladang ayam pembiak (breeder farm) yang membekalkan anak-anak ayam kepada penternak. Hal demikian bagi mengelak syarikat penternakan mengalami kerugian akibat pengeluaran melebihi permintaan.\nPandemik COVID-19 juga turut menjejaskan operasi perladangan ayam apabila banyak tenaga buruh terpaksa diberhentikan kerana permit kerja tidak disambung dan pekerja sukar sampai ke ladang kerana penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan. Apabila keadaan kembali pulih dan sektor ekonomi dibuka semula; ladang-ladang yang kehilangan pekerja sukar untuk mendapatkan semula tenaga pekerja mereka.\nUmum mengetahui, Ukraine dan Rusia merupakan pengeluar bijirin utama dunia terutama gandum dan barli. Perang antara kedua-dua negara berjiran yang bermula pada Februari 2022 dan berlanjutan sehingga kini turut memburukkan keadaan. Hasil gandum bijirin yang turut dieksport ke Malaysia terganggu dan memberi kesan kepada ketidakstabilan harga pasaran apabila harganya meningkat dari RM600 setan kepada RM1900 setan.\nDi samping itu, wabak selesema unggas, avian influenza (AI) yang menyerang benua Eropah pada tahun lepas turut membantutkan penggantian ayam-ayam baka penelur. Wabak AI menyaksikan benua Eropah bergelut bagi melupuskan sebanyak 48 juta ekor unggas telah membantut proses penggantian ayam parent stock di negara ini dari grandparent stock yang kebanyakan bersumber dari negara-negara Eropah tersebut.\nMenjadi bahan utama atau sampingan, hidangan makanan berasaskan telur boleh kelihatan di mana-mana. Sajian ini juga merentasi kepelbagaian kaum di Malaysia. Bagi masyarakat Melayu, setiap acara sudah semestinya menjadikan telur sebagai pelengkap sajian seperti majlis merisik, bertunang, perkahwinan, perayaan dan berkhatan. Malah telur menjadi sajian dalam pelbagai masakan bagi semua kaum bermula dari golongan bawahan sehingga golongan atasan. Oleh hal yang demikian, krisis ketiadaan telur sangat memberi kesan kepada seluruh masyarakat di negara ini.\nBerbeza daripada ayam pedaging yang dipelihara bagi menghasilkan daging; ayam penelur pula dipelihara bagi tujuan mendapatkan telurnya. Ayam penelur boleh bertelur sepanjang tahun, dan bermula dari peringkat dara (pullet), akan mula bertelur pada minggu ke-18 sebanyak 5 peratus pengeluaran dan sehingga minggu ke-20 sebanyak 10 peratus. Pengeluaran telur mencapai paras kemuncak pada minggu ke-26 sehingga ke-30. Kemudian peratus pengeluaran akan menurun sedikit demi sedikit, namun kekal bertelur sehingga 72 hingga 78 minggu. Seekor ayam berupaya menghasilkan 260 sehingga 300 biji telur setahun. \u00a0Saiz dan warna telur pula berbeza-berbeza mengikut baka-baka tertentu. Baka yang kerap dipelihara di negara ini ialah Hisex Brown, Lohmann, Dekalb, Isa Brown, Golden Comet dan Babcock. Jerman, Belanda, Perancis dan United Kingdom menjadi pengeksport utama ayam parent stock ke negara ini.\nIndustri ayam penelur di negara ini bergerak seiring dengan industri ayam pedaging kerana merupakan komponen terbesar dalam pengeluaran sumber protein berasaskan haiwan kepada rakyat. Hal tersebut dibuktikan menerusi pada tahun 2001; pengeluaran telur menyumbang 114 peratus SSL manakala SSL bagi pengeluaran daging ayam sebanyak 118. Penternakan ayam penelur dan pedaging dikatakan bermula seawal tahun 1927 di mana baka ayam eksotik yang terdiri daripada baka Rhode Island Red dan Leghorn dibawa masuk ke negara ini. Sebahagian daripada baka-baka eksotik tersebut bergabung dengan baka ayam hutan tempatan secara kacukan dan mewujudkan baka ayam kampung tempatan. Pada waktu tersebut, ayam diternak secara kecil-kecilan oleh penduduk bagi menyara diri dan pendapatan tambahan. Sistem penternakan secara tradisional dan lepas bebas serta terdedah kepada pelbagai kejadian penyakit. Bagi menampung permintaan tempatan, telur dan ayam terpaksa diimport dari luar negara.\nSelepas perang dunia kedua, penternakan ayam mula berkembang dari sudut kuantiti dan kualiti pengurusan. Sistem pengurusan ditumpukan secara sistematik terutama aspek penjagaan kesihatan dan pemberian vaksin sampar ayam diperkenalkan kepada penternak komersil dan semi komersil. Menerusi intervensi pihak berkuasa Veterinar, penternak kecil-kecilan diperkenalkan kaedah menternak secara sistematik daripada kaedah lepas bebas kepada sistem berkurung. Pada 1990-an, sistem perladangan berkonsepkan kaedah moden seperti teknologi automasi dan kawalan biosekuriti didapati semakin meningkat.\nPada 2020, bilangan ayam dan itik penelur yang diternak di seluruh negara berjumlah 69.6 juta ekor, menghasilkan pengeluaran telur sebanyak 13,257 juta biji dengan nilai Ex-Farm berjumlah RM5.2 bilion. Dengan SSL 114 peratus, sebanyak 12 peratus telur ayam dieksport ke beberapa buah negara termasuklah Singapura dan Hong Kong. Kemajuan industri ayam penelur menerusi pertambahan jumlah ayam yang diternak dan pengeluaran telur yang konsisten disumbang menerusi penglibatan beberapa buah syarikat besar. Antara peneraju industri penternakan ayam penelur di negara ini termasuklah Leong Hup Poultry Farm, Charoen Pokphand Holding, Pertanian Pertiwi dan Huat Lai Sdn. Bhd. Selain menyediakan perkhidmatan konsultasi pengurusan; syarikat berkenaan juga bertindak sebagai peneraju dalam pusingan rantaian penternakan ayam penelur dari aspek membekal anak-anak ayam, ubat-ubatan dan makanan ternakan kepada penternak.\nWalaupun berdepan dengan pelbagai cabaran; seperti perubahan iklim dan saingan guna tanah dengan sektor perumahan dan perkilangan; industri ayam penelur dijangka terus memberi sumbangan utama sumber bekalan protein berasaskan haiwan kepada rakyat di negara ini. Beberapa pendekatan baharu seperti pemodenan pertanian, \u201csmart farming\u201d, pengurusan sistem rantaian pengeluaran yang cekap dan berdaya saing akan menjadi faktor penentu kelestarian industri berkenaan pada masa hadapan." "Institusi Pengajian Tinggi di Perlis Beri Peluang Ceburi Kerjaya Masa Depan yang Cerah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh \u2013 Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru pelajar agar terus melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, khususnya di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Perlis sebagai pilihan utama.\nTitah baginda, kredibiliti alumni di IPT Perlis banyak membukti pencapaian mereka yang cemerlang sebagai mahasiswa. Maka itu, wajarlah untuk dijadikan sebagai inspirasi kepada pelajar lain, selain daripada meningkatkan semangat pelajar dan seterusnya dapat membantu membangunkan kapasiti IPT masing-masing dengan menarik lebih ramai penuntut ke negeri ini.\nPengalaman yang diperoleh sepanjang belajar di Perlis dapat dijadikan sebagai panduan kepada bakal pelajar dan menjadi bukti yang paling sahih kepada mereka untuk memilih negeri ini, terutamanya dalam memilih bidang yang bertepatan bagi menceburi bidang kerjaya pada masa akan datang.\nHal ini dapat memperkasa lagi peratusan kemasukan pelajar sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa, berdasarkan bantuan promosi daripada alumni itu sendiri.\nSebagai rekod, antara IPT yang terdapat di Perlis ketika ini ialah Universiti Malaysia Perlis, Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis, Institut Pendidikan Guru Perlis, Kolej Universiti Islam Perlis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin dan terbaharu Universiti Muhammadiyah Malaysia yang akan mula beroperasi tidak lama lagi.\nDemikianlah titah Raja Muda Perlis selepas berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sempena program kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Pauh baru-baru ini.\nAntara rumah asnaf yang disantuni dan diserahkan sumbangan MAIPs oleh Raja Muda Perlis, termasuklah Hussin Bakar 79 tahun, Halimah Teh 88 tahun dan Don Kasa 96 tahun." "Peningkatan Populasi Transgender di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMalaysia merupakan sebuah negara yang sedang pesat menuju ke arah kemodenan dari semasa ke semasa. Malaysia juga sebuah negara yang mempunyai pelbagai etnik, agama dan bangsa. Pada era globalisasi kini, peningkatan populasi transgender dalam negara sangat membimbangkan masyarakat. Transgender merujuk individu yang mungkin bertindak, berfikir, mempunyai perasaan atau keterampilan yang berbeza daripada jantina lahir atau biologi mereka. Golongan transgender yang semakin meningkat dan giat menjalankan kegiatan atau amalan songsang dan perlakuan yang bertentangan dengan jantina, terutamanya di lorong-lorong gelap dan sunyi.\nKebanyakan daripada mereka mengakui tentang amalan songsang dan menonjolkan lagi orientasi seksual dan identiti diri tanpa rasa malu. Sebagai contoh, kemunculan usahawan terkenal yang semakin aktif menonjolkan diri mereka di media sosial tanpa ada rasa malu malah berasa bangga dengan perilaku diri mereka. Walaupun kegiatan mereka tidak diterima oleh kebanyakan masyarakat, tetapi masih ada segelintir pihak yang memberikan sokongan dek telatah mereka yang menghiburkan.\nMenurut laporan sebuah akhbar arus perdana, (2018), JAKIM telah mendedahkan populasi transgender dengan merekodkan peningkatan kepada 30 000 orang individu pada tahun tersebut berbanding dengan pada tahun 1988, iaitu sebanyak 10 000 orang individu. Peningkatan populasi ini menambahkan kebimbangan pelbagai pihak dan sudah pastinya akan memberikan impak yang negatif terutamanya kepada generasi yang akan datang. Malaysia merupakan sebuah negara yang berpegang teguh kepada agama Islam sebagai agama Persekutuan. Setelah isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dibangkitkan, Malaysia telah mengambil langkah efektif dalam mengendalikan isu yang berkaitan dengan LGBT khususnya transgender. Pada masa yang sama, pelbagai pihak telah tampil untuk mengetengahkan isu ini sebagai suatu perkara yang perlu diambil peduli. Hal ini dikatakan demikian kerana perilaku mereka sememangnya salah dari segi norma masyarakat mahupun dari sudut agama. Namun begitu, perkara ini tidak diterima dan dipandang serong oleh sesetengah masyarakat termasuklah daripada golongan itu sendiri. Populasi transgender kebanyakannya terdiri daripada golongan muda kerana mereka mempunyai akses lebih luas kepada Internet dan media sosial.\nAntara faktor atau punca berlakunya peningkatan populasi transgender ialah pengaruh rakan sebaya. Faktor mudah terpengaruh dengan rakan sebaya dan keadaan sekeliling mendedahkan individu itu kepada golongan transgender. Segelintir daripada golongan ini telah terdedah dari segi gaya hidup, perbuatan dan amalan sejak kecil sehingga ke alam dewasa sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja. Segelintir kanak-kanak terdedah dengan gaya hidup sedemikian kerana mereka sudah terbiasa dengan kehidupan orang sekeliling yang melakukan kegiatan songsang tersebut. Pendedahan yang diterima daripada golongan transgender menyebabkan mereka ingin mencuba untuk melakukan perbuatan songsang yang melibatkan jantina yang sama. Rakan sebaya juga bermaksud kumpulan yang boleh mempengaruhi secara langsung atau tidak langsung dalam kalangan rakan sebaya yang lain. Rakan sebaya sangat berpengaruh dalam melakukan aktiviti harian secara berkumpulan. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka lebih cenderung untuk mempengaruhi kepercayaan, nilai dan tingkah laku seseorang, sehingga menyebabkan individu itu akan terjebak dengan kegiatan songsang yang dilakukan oleh rakan-rakan yang lazimnya sudah terbiasa dengan kegiatan songsang. Seseorang itu mungkin digalakkan mengikut rakan sebaya mereka dengan mengubah sikap, nilai atau tingkah laku mereka untuk menyesuaikan diri dengan mereka yang berpengaruh.\nFaktor didikan ibu bapa juga sangat penting kerana terdapat ibu bapa terlalu sibuk dengan dunia pekerjaan sehingga alpa untuk meluangkan masa bersama-sama anak-anak. Kesibukan ibu bapa menyebabkan anak-anak tidak mendapat didikan yang sewajarnya. Sebagai contoh, golongan remaja mudah terpengaruh dengan sesuatu yang ada di sekeliling mereka. Media sosial yang begitu mudah untuk diakses dengan hujung jari sahaja mempengaruhi minda mereka untuk melihat perkara yang terpapar di media sosial. Ibu bapa sewajarnya menitikberatkan didikan yang sepatutnya diberikan kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi.\nDalam hal ini, ibu bapa perlu lebih meluangkan masa bersama anak-anak. Kebanyakan ibu bapa sering sibuk dengan urusan mereka sehingga anak-anak merasa terpinggir sehingga mereka mengambil tindakan di luar jangkaan. Hal ini perlu diambil peduli bagi mengelak anak-anak terjerumus ke jalan yang boleh merosakkan mereka. Didikan yang sempurna daripada pelbagai aspek mampu membentuk tingkah laku yang positif dalam diri anak-anak. Hal ini turut disokong oleh kajian yang dilakukan Mohamad Ramzi et al. (2020) yang menyatakan bahawa terdapat banyak punca atau faktor yang membawa kepada perlakuan (LGBT), iaitu faktor ibu bapa, rakan sebaya, media massa teknologi dan masyarakat sekeliling\nMalaysia dilaporkan berada dalam senarai 72 buah negara yang mempunyai jenayah homoseksualiti. Hal ini demikian bermakna negara perlu berwaspada dan cakna akan isu ini. Peningkatan golongan ini bukan sahaja menimbulkan isu kepada masyarakat, malah turut menimbulkan masalah kepada negara. Personaliti semula jadi juga boleh menjadi faktor yang mempengaruhi kepada peningkatan transgender. Personaliti berkaitan rapat dengan perlakuan tingkah laku individu kerana personaliti akan menentukan siapa diri kita dan cara kita bergaul dengan orang sekeliling. Kebanyakan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menyatakan bahawa kegiatan mereka bermula sejak berada di sekolah berasrama, terutamanya bagi remaja lelaki yang berusia 15 tahun dan ke atas kerana belum matang dan tidak dapat membezakan jenis sentuhan terhadap mereka. Sebahagian masyarakat bersikap tidak ambil tahu dan menerima keadaan transgender, namun tidak menyokong kegiatan tersebut secara terbuka. Namun begitu, golongan transgender ini dianggap bertentangan dengan agama Islam dan identiti serta ekspresi gender mereka tidak diiktiraf di sesetengah negara. Mereka yang terlibat dengan golongan ini jelas menunjukkan perlakuan gaya hidup songsang sebagai gaya dan corak mereka sendiri.\nSelain itu, peningkatan populasi transgender ini juga disebabkan oleh kurangnya penghayatan agama dalam diri. Mantan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato\u2019 Haris Kasim menyatakan bahawa walaupun pendidikan agama diberikan sejak kecil, namun kecenderungan ke arah golongan transgender tetap berlaku jika tidak mengamalkan kehidupan beragama. Hal ini demikian terjadi menyebabkan mereka mudah terjerumus kerana tidak dapat membezakan perkara baik atau tidak baik. Merujuk statistik yang dinyatakan oleh Penolong Pengarah Kanan Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim, Dr. Mohd Izwan Mohd Yusof, dalam tempoh 20 tahun, jumlah golongan transgender menunjukkan peningkatan sebanyak 200 peratus, iaitu sebanyak 30 000 orang pada tahun 1988 dan kebanyakan daripada golongan ini bekerja sebagai pekerja seks. Menurut beliau lagi, peningkatan itu boleh terjadi disebabkan oleh pelbagai faktor, mungkin salah satu aspeknya melibatkan media sosial yang ada pada hari ini. Golongan muda mempunyai akses lebih banyak terhadap Internet dan media sosial.\nPeningkatan populasi transgender yang kian rancak mengikut peredaran zaman moden ini memerlukan kerjasama semua pihak bagi mengatasinya. Ibu bapa sewajarnya meningkatkan lagi kemahiran keibubapaan bagi mencegah gejala seksual, pengaruh rakan sebaya, waima menyekat maklumat yang tidak sahih. Sesetengah ibu bapa terlalu yakin dan mempercayai anak-anak sehingga mereka tidak sedar akan tingkah laku yang dilakukan oleh anak-anak mereka.Pihak kerajaan juga perlu mengambil langkah efektif seperti menyekat penularan rakaman video, drama atau iklan yang mengandungi unsur-unsur negatif kerana anak-anak terutamanya dalam kalangan remaja sangat mudah terpengaruh dan mengikuti perkara atau kegiatan yang dilihat dalam sosial media. Tidak lupa juga tanggungjawab sebagai masyarakat yang sepatutnya tidak menyokong pihak yang melibatkan golongan transgender. Dapatan kajian \u201cIntegrated Bio-BehavioralbSurveilance\u201d (IBBS) antara tahun 2012 dan 2014 membuktikan kadar jangkitan penyakit dalam kalangan populasi transgender meningkat daripada 4.8 peratus pada tahun 2012 kepada 5.6 peratus pada tahun 2014.\nOleh hal yang demikian, ibu bapa sebagai orang yang paling dekat dan rapat dengan anak-anak di rumah perlu memainkan peranan yang penting dengan memantau setiap tingkah laku serta pergerakan anak-anak mereka selain memberikan perhatian yang sepenuhnya supaya anak-anak tidak merasa kurang kasih sayang sehingga boleh terjebak dalam kancah yang tidak sihat. Kurangnya kasih sayang daripada keluarga terutamanya ibu bapa akan menyebabkan anak-anak merasa tersisih dan mereka akan cuba mencari perhatian dengan melakukan sesuatu yang di luar jangkaan ibu bapa. Sekiranya mereka terlibat dengan kegiatan negatif ini, mereka seharusnya diberi pengajaran atau tindakan supaya lebih bijak menilai mana yang baik mahupun buruk. Sekiranya masalah ini tidak dibendung sejak dari awal lagi, isu ini bukan sahaja mendatangkan kesan negatif kepada generasi akan datang, malah masyarakat dan negara turut menerima tempiasnya. Kestabilan negara bermula daripada kemakmuran masyarakat yang harmoni dan tidak terlibat dengan perkara yang akan mendatangkan keburukan." "Isu Sekolah Daif: KPM Sambut Baik Hasrat PM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merujuk laporan media berhubung dengan kenyataan oleh Perdana Menteri (PM), YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim mengenai keseriusan kerajaan dalam menangani isu sekolah daif.\nOleh itu, KPM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau dalam isu tersebut. Dalam tujuh aspirasi KPM sebelum ini, agenda yang berkaitan dengan pembangunan sekolah daif ini telah diberikan perhatian, maka pengumuman Perdana Menteri tersebut adalah selaras dengan hasrat KPM untuk mengutamakan isu ini di seluruh negara.\nKPM juga telah mengenal pasti bangunan-bangunan daif melalui analisis skor gred impak untuk keutamaan pelaksanaan projek ini. Berdasarkan pada skor tersebut, KPM memberikan keutamaan untuk melaksanakan projek penggantian kepada blok bangunan di sekolah yang berada pada skala 6 dan skala 7.\nSehingga 31 Januari 2023 lalu, sebanyak 830 buah sekolah mempunyai blok bangunan yang berada pada skala 6 dan skala 7 yang memerlukan penggantian atau pembangunan semula. Bilangan bangunan daif ini adalah dinamik selaras dengan penyelesaian pelaksanaan pembangunan semula dan penerimaan untuk mengesyorkan tahap keselamatan bangunan oleh agensi teknikal. Projek yang diangkat untuk kelulusan pelaksanaan tersebut terdiri daripada senarai sekolah yang mempunyai bangunan daif pada skala 6 dan skala 7. KPM juga sentiasa komited dalam menyediakan infrastruktur pendidikan yang selamat dan kondusif untuk kegunaan murid serta warga sekolah di seluruh negara." "MAIPs dan Pertubuhan Amal Insan Prihatin Perlis Memulakan Misi Bantuan Banjir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Sukarelawan dari Pertubuhan Amal Insan Prihatin Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah memulakan misi bantuan bencana banjir di Johor baru-baru ini.\nBermula semalam hingga 15 Februari, sebanyak 20 orang sukarelawan Negeri Perlis turut pandang memberikan bantuan di daerah Segamat dan Batu Pahat. Misi bantuan ini diketuai oleh Pengerusi Pertubuhan Amal Insan Prihatin Perlis, Reswan Ramli.\nMenurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor, barangan bantuan dibawa dari Perlis dengan menggunakan sebuah lori, enam buah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah van.\n\u201cAntara barangan yang disumbangkan termasuklah 1200 barang yang terdiri daripada 300 unit selimut tebal, 300 selimut, 300 helai kain pelekat, 300 helai kain batik dan air mineral,\u201c kata beliau.\nMengulas lanjut, misi tersebut merupakan anjuran bersama antara Pertubuhan Amal Insan Prihatin Perlis, MAIPs dengan kerjasama beberapa pihak penyumbang yang lain.\nTerdahulu, dalam program berasingan di Masjid Al-Muttaqin Padang Besar Kurong Anai baru-baru ini, MAIPs menyerahkan agihan zakat kepada 70 penerima dari Kariah Padang Besar Kurong Anai dan 70 orang lagi penerima dari Kariah Bohor Mentalon yang masing-masing menerima sumbangan RM700 setiap seorang. Penyampaian disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail." "Akronim dan Singkatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nApakah perbezaan antara akronim dengan singkatan?\nSebagai contohnya, bagaimanakah kita hendak menyebut SOP (sebut ikut huruf S.O.P) atau sebut ikut bunyi SOP (seperti \u201csup\u201d seperti sup ekor atau sup ayam)?\nDaripada:\nAbdul Rahim Abdul Razak,\nAlor Gajah." "Isu Pembinaan Semula Kantin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPahang \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merujuk laporan sebuah akhbar arus perdana pada 10 Februari 2023 berhubung dengan isu kerosakan kantin di Sekolah Kebangsaan Kampung Awah, Maran, Pahang sehingga menyebabkan 230 orang murid terpaksa makan di pelbagai tempat.\nDalam usaha menangani situasi tersebut, KPM sentiasa cakna dan prihatin terhadap isu yang melibatkan soal kebajikan dan keselamatan murid. Maklumat mendapati projek tersebut berada dalam senarai 74 projek daif yang diperakukan oleh KPM untuk Rancangan Boleh Pinda ke-3 atau Rolling Plan ke-3 (RP3) tahun 2023 dan kelulusan projek tertakluk pada pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari 2023 kelak.\nProses tersebut melibatkan skop untuk merobohkan bangunan daif sedia ada dan membina semula bangunan baharu termasuklah kantin dan kemudahan lain mengikut piawaian dan mesra golongan orang kurang upaya (OKU), perolehan peralatan dan kelengkapan baharu serta menambah baik kemudahan infrastruktur sedia ada.\nWalau bagaimanapun, sementara menunggu pembinaan semula kemudahan tersebut, pihak sekolah sejak awal lagi telah meletakkan pita larangan memasuki kawasan tersebut atas faktor keselamatan berikutan telah diisytiharkan tidak selamat oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR). Selain itu, pihak sekolah juga telah menyediakan khemah khas untuk digunakan oleh murid dan guru semasa waktu rehat. KPM memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa komited untuk memastikan sekolah berada dalam keadaan baik, selamat dan kondusif untuk keselesaan semua murid dan guru." "Dampak Positif dan Negatif Trend Kahwin Muda\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerkahwinan pada usia muda dikatakan sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat pada masa ini. Jika diteliti, trend kahwin muda semakin bertambah, iaitu melibatkan golongan bawah umur atau 18 tahun ke bawah. Di Malaysia, angka perkahwinan pada usia muda lebih tinggi berbanding dengan negara lain. Sesetengah pihak menganggap bahawa berkahwin pada usia muda merupakan perkara biasa dan ada juga yang mengatakan bahawa kahwin muda bukan perkara yang boleh diambil mudah kerana risiko berkahwin pada usia muda sangat besar. Pada usia mereka yang masih muda dan belum matang, pelbagai perkara perlu dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum melayari bahtera perkahwinan yang penuh dengan dugaan dan cabaran. Walau bagaimanapun, sebagai manusia kita tidak boleh menolak takdir sekiranya jodoh seseorang itu lebih awal daripada yang dijangkakan kerana jodoh, ajal dan maut telah ditetapkan oleh Allah SWT.\nPersoalannya, apakah faktor yang menyebabkan hal ini berlaku? Ada yang mengatakan bahawa kahwin muda mungkin disebabkan oleh keterlanjuran. Hal ini dikatakan demikian kerana, golongan remaja kini sering terlibat dengan gejala sosial yang melampau, iaitu pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan. Secara tidak langsung, pergaulan bebas menyebabkan mereka terlanjur dan melakukan maksiat sehingga timbul perkara yang tidak diingini. Oleh hal yang demikian, mereka digalakkan untuk berkahwin agar maruah keluarga terpelihara dan perlu bertanggungjawab atas keterlanjuran yang berlaku. Selain itu, trend kahwin muda juga mungkin disebabkan oleh desakan keluarga kerana terdapat segelintir keluarga yang amat mengutamakan darjat dan keturunan. Perkara ini mungkin berlaku disebabkan oleh keturunan keluarga yang juga berkahwin pada usia muda dan mereka bimbang sekiranya anak-anak mereka tidak memperoleh jodoh yang sesuai tepat pada waktunya. Maka, semakin bertambahlah golongan yang berkahwin muda atas faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan.\nSetiap perkahwinan yang dibina semestinya mengharapkan kebahagiaan kerana itulah tujuan sesebuah perkahwinan. Namun begitu, tidak semua perkahwinan akan berjalan seperti yang diimpi-impikan kerana setiap perkahwinan terdapat ujian yang perlu ditempuh. Sememangnya, agama Islam bukan sahaja tidak pernah melarang seseorang itu untuk berkahwin pada usia yang muda, malah turut menggalakkan usaha ke arah perkahwinan agar kita tidak terjerumus ke lembah kemaksiatan. Namun begitu, tidak semua golongan masyarakat yang mampu mengawal perkahwinan pada usia yang muda. Hal ini dikatakan demikian kerana, tanggungjawab sebagai pasangan suami isteri dalam sesebuah perkahwinan itu sangat besar. Usia yang terlalu muda mungkin tidak mampu untuk mengatasi dugaan perkahwinan yang mencabar kerana didapati banyak pasangan muda yang bercerai selepas mendirikan perkahwinan mereka dalam tempoh beberapa bulan. Buktinya, kes perceraian dalam kalangan pasangan muda mencatatkan rekod yang tinggi di negara ini. Hal ini menunjukkan bahawa usia muda bukanlah usia yang matang untuk berkahwin kerana dalam tempoh tersebut, mereka belum benar-benar bersedia dari segi mental dan fizikal.\nPeningkatan kes penceraian juga kian menjadi-jadi dari tahun ke tahun. Hal ini menunjukkan bahawa tidak semua pasangan muda mampu mengatasi dugaan dan cabaran perkahwinan pada usia muda. Tidak dapat dinafikan bahawa setiap perkahwinan itu, sama ada yang berkahwin pada usia muda atau matang pastinya berhadapan dengan dugaan yang perlu dihadapi oleh pasangan masing-masing sepanjang perkahwinan. Namun begitu, perbezaannya adalah melibatkan cara seseorang itu mengawal perkahwinan mereka agar terus kekal bahagia. Sebagai contoh, segelintir pasangan yang berkahwin pada usia muda mungkin kurang mampu untuk mengawal perkahwinan mereka dengan baik. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir individu yang berkahwin pada usia yang muda kerana ilmu pengetahuannya tentang kehidupan, agama dan sebagainya sangat tinggi. Oleh sebab itu, walaupun perkahwinan pada usia yang muda mempunyai risiko, tetapi pada masa yang sama turut mempunyai kebaikannya yang tersendiri dalam aspek tertentu.\nPersoalannya, apakah risiko yang terpaksa ditempuh apabila berkahwin pada usia muda? Antara risiko berkahwin pada usia yang muda termasuklah kedudukan kewangan yang belum mantap sehingga menyebabkan rumah tangga tidak bahagia dan sering menghadapi masalah. Oleh hal yang demikian, pasangan muda yang berkahwin tersebut tertekan dengan masalah kewangan yang dihadapi dan ada dalam kalangan mereka yang memilih untuk bercerai selepas tidak mampu mengawal keadaan. Tambahan pula, perkahwinan pada usia muda akan menyebabkan pandangan negatif dalam kalangan masyarakat. Terdapat segelintir masyarakat yang gemar mengambil tahu hal orang lain dan memandang rendah terhadap pasangan yang kahwin muda. Mereka juga beranggapan bahawa semua pasangan yang berkahwin muda disebabkan oleh keterlanjuran dan kemungkinan mengandung anak luar nikah. Kesannya, pasangan muda ini akan menghadapi tekanan perkahwinan akibat buah mulut negatif segelintir masyarakat.\nTidak dapat dinafikan juga bahawa perkahwinan pada usia muda merupakan suatu langkah yang baik dalam sesebuah institusi kekeluargaan jika kena pada tempatnya.\u00a0 Antara kebaikannya termasuklah dapat mengelakkan diri daripada terjerumus ke lembah kemaksiatan. Kahwin muda juga dapat mendidik seseorang itu untuk menjadi lebih matang dalam menguruskan kehidupan mereka. Perkahwinan juga mengajar seseorang itu untuk menjadi manusia yang lebih bijak dalam membuat keputusan dan sabar dalam menghadapi ujian kerana tidak semua orang mampu menghadapi cabaran dalam perkahwinan pada usia yang muda. Perkara ini juga dilihat boleh mendatangkan manfaat kepada pasangan tersebut.\nSebagai pasangan yang berkahwin pada usia yang muda, pelbagai perkara perlu dititikberatkan dalam rumah tangga agar perkahwinan tetap kekal bahagia. Walau bagaimanapun, setiap perkahwinan pasti ada turun naiknya. Oleh sebab itu, persediaan mental dan fizikal sangat penting sebelum berkahwin agar setiap pasangan dapat menjalani proses perkahwinan dengan\u00a0 sebaik-baiknya. Sebelum mengikat janji, setiap pasangan perlu mempelajari ilmu perkahwinan agar mereka arif tentang kaedah dan persediaan untuk menguruskan rumah tangga selepas berkahwin.\nSetiap pasangan perlu mengambil berat terhadap pasangan masing-masing, sama ada melibatkan aspek kelemahan atau kelebihannya kerana betapa pentingnya mengenali karekter dan sikap pasangan masing-masing selepas berlangsungnya perkahwinan. Usia yang muda bukan penghalang untuk seseorang itu membina kerukunan rumah tangga yang bahagia. Hal ini juga mampu mendidik mereka agar menjadi insan yang lebih baik pada masa hadapan. Walau bagaimanapun, perkahwinan pada usia muda tetap mempunyai kebaikan dan risikonya yang tersendiri. Maka itu, setiap pasangan muda perlu mengambil kira semua perspektif dari pelbagai sudut sebelum membuat keputusan untuk melayari bahtera perkahwinan yang mungkin tidak menjanjikan kebahagiaan sepenuhnya kerana ada \u201charga\u201c yang perlu dibayar." "Amanat Pengerusi Lembaga Pengelola DBP: Selami Nilai Madani\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebagai institusi yang berperanan besar dalam usaha memartabatkan bahasa, sastera dan ilmu, warga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diseru agar menyelami nilai madani dengan melaksanakan komitmen kerja seperti yang termaktub dalam Ikrar Perkhidmatan Awam, sekali gus menekuni konsep Membangun Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, YAB\u00a0Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim pada 19 Januari 2023.\n\u2018Membangun Malaysia Madani\u2019 bukanlah satu lembaran baharu, namun merupakan visi dan kerangka besar dasar Kerajaan Perpaduan sebagai ikhtiar untuk memetakan semula strategi melalui empat teras, iaitu membina semula ekonomi\u200b; menjamin kesejahteraan insan\u200b; reformasi institusi demokrasi dan perundangan\u200b; dan mewujudkan pentadbiran beramanah\u200b.\nMaka itu, apabila YAB Perdana Menteri membuat pengumuman dalam sidang media pertamanya, perkataan yang disampaikan oleh beliau selaras dengan dasar negara, apabila beliau menegaskan bahawa peri pentingnya pancang-pancang kenegaraan yang telah dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan itu dipertahankan dan tidak dirobek dan tidak diganggu-gugat dengan semangat yang bertentangan dengan pancang itu.\nPerkara yang paling penting ialah soal kedudukan agama Islam, sistem pemerintahan beraja dan kedudukan bahasa Melayu, yakni yang menjadi asas acuan kepada pembentukan makna penyatuan diri Melayu dan bangsa lain di negara ini.\nDemikian antara petikan ucapan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dalam Majlis Amanat Pengerusi Lembaga Pengelola yang berlangsung pada pagi tadi di Balai Tun Syed Nasir, Wisma DBP.\nMenurut beliau, seiring dengan Pelan Strategik DBP 2021\u20132025, DBP komited mengadakan pelbagai program ilmu sebagai sokongan padu kepada gagasan kerajaan untuk mengangkat bahasa Melayu menjadi bahasa yang lebih ampuh sebagai wasilah tamadun negara dan pada masa yang sama melonjakkannya sebagai bahasa ekonomi. Hal ini demikian kerana kedudukan bahasa Melayu pada hakikatnya sudah melebihi dua alaf dan sebagai rakyat Malaysia semua pihak perlu menggemilangkannya semula. Jelas beliau lagi:\nTumpuan DBP adalah untuk memastikan bahasa Melayu terus berperanan sebagai bahasa negara dalam konteks bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa tamadun tinggi.\nSementara itu, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan turut memberikan penekanan terhadap usaha memacu pertumbuhan bidang ekonomi, teknologi dan digital. Dalam usaha ini beliau mengingatkan staf DBP agar tidak mengabaikan nilai kemanusiaan kerana perkara tersebut akan menjadikan seseorang itu mula mengalah dan mudah berkompromi dengan penyelewengan mahupun penindasan.\nOleh hal yang demikian, beliau menyarankan staf DBP agar terus berusaha menjadi nadi penggerak dan tulang belakang negara dalam memacu fungsi pentadbiran masing-masing.\nMenerusi amanatnya, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP amat berharap agar staf DBP menekuni nilai madani yang begitu luas makna dan konsepnya, seterusnya mengoptimumkan fungsi jentera kerajaan serta bertanggungjawab dalam melaksanakan dasar yang berkaitan dengan fungsi tugasnya." "KPM Menjunjung Kasih Titah Diraja YDPA\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merafakkan sembah menjunjung kasih atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) XVI Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta\u2019in Billah sempena pembukaan penggal kedua, Parlimen ke-15 pada 13 Februari 2023 yang turut menyentuh beberapa perkara yang melibatkan bidang pendidikan\nSeiring dengan keperluan kini dan masa hadapan pendidikan, KPM akan menerajui Dasar Pendidikan Digital (DPD) bagi menyambut agenda pendidikan digital negara. KPM juga komited untuk memastikan prasarana dan infrastruktur institusi pendidikan di bawah KPM sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kondusif melalui projek menaik taraf atau penggantian blok bangunan sekolah daif.\nDalam bidang pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET), KPM akan terus memperkasakan aspek tersebut bagi melahirkan graduan TVET yang memenuhi keperluan industri dan negara menerusi pendekatan usaha sama antara pihak awam dan swasta. Dalam usaha meningkatkan lagi tahap keselamatan dan kesejahteraan murid di sekolah, KPM juga telah memperkasakan penggunaan Modul Intervensi Jenayah Seksual Kanak-kanak di Sekolah (IHSAN), selain membuat penelitian dan semakan yang berkaitan dengan peraturan-peraturan disiplin murid agar lebih komprehensif.\nDalam hal ini, KPM berikrar akan terus berusaha untuk memastikan seruan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia khususnya dalam bidang pendidikan." "Guru Diberi Pilihan dalam Mengisi Laporan Pentaksiran Bilik Darjah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Hasil pemantauan prestasi capaian dan tindakan pemulihan terhadap Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan autonomi kepada guru untuk memilih cara pengisian pentaksiran bilik darjah (PBD) murid bagi sesi akademik tahun 2022/2023.\nMenurut KPM dalam kenyataan media pada pagi ini, guru diberi pilihan sama ada untuk merekod dan melaporkan tahap penguasaan PBD secara luar talian atau secara hibrid.\n\u201cTemplat baharu untuk pengisian PBD bagi pelaporan ujian akhir sesi akademik tahun 2022/2023 secara luar talian akan disediakan sebagai alternatif.\u201d\nJelas beliau mengulas lanjut berkaitan dengan isu gangguan capaian terhadap sistem SPPB yang berlaku baru-baru ini.\nMeskipun begitu, KPM terus komited mencari alternatif terbaik bagi mengurangkan beban tugas guru dalam memastikan kebajikan guru terpelihara." "Festival Semarak Ilmu 2023: Mengiktiraf Pelajar sebagai Duta Madani\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSentul \u2013 Festival Semarak Ilmu 2023 yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sentul, Kuala Lumpur telah berlangsung di HGH Convention Centre Sentul, Kuala Lumpur pada hari ini dengan upacara perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YB Puan Fadhlina Sidek.\nFestival ini melibatkan penyertaan murid yang ramai menerusi pameran Kefahaman Melalui Reka Bentuk Transformasi Sekolah 2025 (KMR TS25) dan disiplin Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Antara aktiviti yang berlangsung pada hari ini termasuklah persembahan daripada johan bercerita, koir, bicara berirama, deklamasi sajak dan gamelan.\nMengulas kepada pihak media, YB Puan Fadhlina Sidek menyatakan bahawa beliau sangat teruja apabila melihat potensi anak-anak melalui persembahan bakat dan karya mereka yang luar biasa. Selain itu, beliau juga menegaskan bahawa perpaduan merupakan elemen penting dalam pendidikan dan ekspresi madani.\nYB Puan Fadhlina Sidek dalam ucapannya berkata bahawa:\nUntuk itu, saya isytiharkan semua anak-anak kita pada hari ini ialah duta madani yang akan menerajui pendidikan madani selepas ini.\nMenurut beliau, apa-apa yang dipersembahkan dan dikongsikan oleh anak-anak pada hari ini merupakan satu mandat yang cukup besar dalam konteks meraikan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan. YB Puan Fadhlina Sidek turut menjelaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersedia untuk menjadi suara guru dan ibu bapa bagi memastikan potensi anak-anak dapat diteruskan.\nSemasa sidang media berlangsung, YB Fadhlina Sidek menyatakan bahawa duta-duta madani ini akan diundang dari semasa ke semasa dengan tujuan memperkenalkan mereka pada pelajar-pelajar dari negeri lain berkaitan dengan potensi dan kaedah untuk menjadi duta madani pada peringkat sekolah.\nSebagai rekod, Festival Semarak Ilmu ini merupakan festival buat julung-julung kalinya yang dianjurkan oleh pihak PPD Sentul, Kuala Lumpur. Festival ini juga menerima pujian kerana disifatkan sebagai antara festival yang menarik perhatian pelbagai pihak dengan dijayakan oleh semua sekolah di daerah Sentul, Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Majlis Bahasa Cina Malaysia, Persatuan Permuafakatan Ibu Bapa Prihatin, Sentul dan Guru Pewaris Negara, Sentul.\nAntara tetamu kehormat yang hadir pada perasmian Festival Semarak Ilmu tersebut ialah YBrs. Puan Radzita Radzi, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengoperasian Pendidikan, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM, YBrs. Puan Zainon Harun, Pegawai Pendidikan Daerah, PPD Sentul, Merangkap Pengerusi Pengelola Festival Semarak Ilmu, YBrs. Puan Norhayati Ab Wahab, Pengarah Pendidikan, Jabatan Wilayah Persekutuan, dan YBhg. Datuk Eddie Heng Hong Chai, Pengerusi HCH Convention Centre, Merangkap Pengerusi Majlis Bahasa Cina Malaysia." "Menyemai Amalan Pemakanan Sihat dalam Kalangan Guru dan Pelajar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Majlis Penyampaian Anugerah Program Amalan Pemakanan Sihat Bersama Gardenia telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Zainudin Mohamad, Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Pelajar) Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Aloft Hotel pada hari ini.\nYBrs. Encik Zainudin Mohamad dalam ucapannya berkata:\nProgram Pemakanan Sihat Gardenia ini merupakan usaha yang baik untuk menerapkan tabiat pemakanan sihat pada peringkat awal dalam kehidupan pelajar. Pada peringkat inilah pelajar menyediakan makanan mereka sendiri. Jadi inilah masa terbaik untuk memperkenalkan mereka dengan Piramid Makanan Malaysia dalam Pinggan Sihat Malaysia seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).\nProgram Amalan Pemakanan Sihat Gardenia yang dianjurkan oleh Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. dengan kerjasama KPM mendapat penyertaan yang memberangsangkan daripada 100 buah sekolah menengah dengan pelibatan daripada 110 000 orang pelajar dan guru dari Semenanjung Malaysia meliputi Wilayah Tengah, Utara, Selatan dan Timur. Program ini telah melabuhkan tirainya pada hari ini dengan pengumuman lapan pemenang utama.\nMenurut YBrs. Puan Lavinia Anthony, Pengurus Pemasaran, Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd., di samping penerapan tabiat pemakanan sihat dalam kalangan pelajar sekolah menengah, pihak Gardenia Roll-Up Wraps berhasrat untuk menggilap kreativiti pelajar melalui penghasilan resipi masakan yang boleh meningkatkan kemahiran hidup, termasuklah kemahiran memasak dan semangat bekerjasama dalam pasukan.\nSetiap kumpulan terdiri daripada seorang guru dan dua orang pelajar yang akan bekerjasama dalam mencipta hidangan berkhasiat menggunakan Gardenia Roll-Up Wraps. Berdasarkan tema \u201cAmalan Pemakanan Sihat\u201c, peserta dikehendaki mencipta resipi dan merekodkan proses penyediaan makanan dalam bentuk video yang menarik dan menghantar video tersebut bersama-sama dengan laporan untuk proses penilaian. Daripada 100 buah sekolah yang mengambil bahagian, lapan buah sekolah berjaya mara ke peringkat akhir.\nSekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru, Melaka telah diumumkan sebagai Pemenang Anugerah Program Amalan Pemakanan Sihat Bersama Gardenia dan menerima wang tunai sebanyak RM3000, manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Paka, Terengganu pula mendapat tempat kedua dan menerima wang tunai sebanyak RM2000 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajuddin, Perlis mendapat tempat ketiga dan menerima wang tunai sebanyak RM1500. Selain pemenang hadiah utama, lima buah sekolah turut mendapat Tempat Sagu hati dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500 bagi setiap kumpulan, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam; Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, Terengganu; Sekolah Menengah Kebangsaan Panchor, Negeri Sembilan; Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Puteri Jaya, Kedah; dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Saujana, Kuala Lumpur.\nTambah Puan Lavinia Anthony.\nSeperti program Gardenia yang lain, nilai-niai murni turut diterapkan dalam pelaksanaan program ini. Kami sentiasa berusaha menyemai nilai-nilai murni untuk membentuk individu yang berperibadi tinggi dan menjadi generasi yang lebih sihat.\nAntara tetamu kehormat yang hadir pada Majlis Penyampaian Anugerah Program Amalan Pemakanan Sihat Bersama Gardenia ini ialah YBrs. Cik Rosniza Hussin, Ketua Penolong Pengarah, Unit Hal Ehwal Murid, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, YBrs. Encik Muhamad Tarmizi Muhammad Nor Ketua Penolong Pengarah, Unit Pembangunan Bakat Murid, YBrs. Encik Derrick Khoo, Pengurus Besar Kanan, Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd." "Segerakan Langkah ke Arah Kesejahteraan Guru \u2013 YB Menteri Pendidikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus mendukung dan memberikan tumpuan kepada tujuh teras utama dalam hasrat melahirkan murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera.\nDalam teras kelima yang memfokuskan kepada isu kebajikan termasuklah tekanan yang dihadapi oleh para guru, KPM bersetuju untuk melaksanakan langkah segera, hasil daripada laporan awal yang diterima. Langkah tersebut melibatkan pemansuhan sebarang bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat yang tidak memberikan impak besar terhadap pembelajaran murid berikutan hanya menambahkan lagi beban tugas guru. Sebagai contoh, pertandingan keceriaan pusat sumber, tandas tercantik, Bilik Operasi SPBT terbaik, dan yang seumpamanya tidak lagi perlu diadakan.\nMenteri Pendidikan,YB Puan Fadhlina Sidek juga menjelaskan bahawa kekerapan semakan elemen pengurusan sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang melibatkan guru perlu dikurangkan kepada setahun sekali sahaja. Selain itu, KPM juga menetapkan waktu mengunci masuk rekod kehadiran murid yang lebih fleksibel kepada guru, iaitu pada pukul 12:00 tengah hari untuk sesi pagi, dan pukul 5:00 petang untuk sesi petang bagi mengelakkan kesesakan dalam sistem.\nPengumuman oleh Menteri Pendidikan juga menjelaskan bahawa pelantikan pengawas peperiksaan awam yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) terbuka kepada individu selain guru yang sedang berkhidmat seperti pesara kerajaan, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institut Pendidikan Tinggi (IPT),tetapi perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan.\nPada masa yang sama, KPM turut mengehadkan penganjuran sambutan Hari Guru Tahunan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja serta menetapkan ringkasan Rancangan Pelajaran Harian (RPH) di peringkat KPM bagi memastikan aspek tersebut kembali memenuhi keperluan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bil.3/1999, yang merangkumi elemen objektif, pengajaran dan refleksi.\nBeliau turut mengumumkan cadangan untuk memperkukuh autonomi guru dalam perancangan dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran bilik darjah (PBD) dengan menjadikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) sebagai rujukan. Kesemua langkah ini dipercayai akan diperincikan oleh pengurusan tertinggi KPM dan akan dilaksanakan bermula sesi persekolahan 2023/2024." "Fokus Calon Menjelang Peperiksaan Awam Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu \u2013 Persiapan menjelang hari peperiksaan merupakan antara perkara yang perlu dititikberatkan oleh calon peperiksaan. Tanpa persiapan yang rapi, amat sukar untuk seseorang calon itu menjawab soalan peperiksaan dengan baik. Menyentuh perihal peperiksaan di Malaysia, pada hari ini dalam sesi temubual Sembang Ekspresi anjuran Sabah fm telah menampilkan Puan Siti [email\u00a0protected] binti Hashim yang juga merupakan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pentaksiran dan Peperiksan di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mengupas topik \u201cPersiapan Menduduki Peperiksaan Awam Tahun 2022\u201d.\nBeliau membuka tirai perkongsiannya dengan menyatakan peranan Lembaga Peperiksaan Malaysia. Menurut beliau, selain mengendalikan peperiksaan bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), LPM juga berperanan mengelola peperiksaan bagi Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU), Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa (UPBA). Jelas beliau lagi, \u201cSPM ulangan bagi tahun 2022 telah dilaksanakan pada 12, 13 dan 14 September 2022 lalu. Keputusan peperiksaan ini telah dikeluarkan pada 20 Oktober 2022. Manakala bagi peperiksaan STAM bagi tahun 2022 telah selesai dilaksanakan pada 16 Januari hingga 2 Februari tahun 2023. Seterusnya, peperiksaan bertulis SPM bagi tahun 2022 akan dilaksanakan pada 20 Februari hingga 15 Mac 2023. Bagi negeri Sabah, sebanyak 40 148 orang calon akan menduduki peperiksaan tersebut di 314 buah pusat peperiksaan. Pada masa yang masa, UPBA juga telah berlangsung pada 16 Februari 2023 dengan melibatkan empat matapelajaran, iaitu bahasa Jepun, bahasa Jerman, bahasa China Komunikatif dan bahasa Korea.\nBeliau turut mengupas perihal ujian amali sains. Beliau berkata, \u201cSetelah sekian lama, kita kembalikan ujian amali sains yang melibatkan matapelajaran Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan. Sebagaimana tahun 2021, calon SPM tahun 2022 juga menduduki ujian amali sains. Bagi SPM tahun 2022, ujian amali sains telah dilaksanakan dalam tempoh tiga hari, iaitu bagi matapelajaran Fizik pada 30 Januari 2023, Biologi pada 31 Januari 2023, dan Kimia pada 2 Februari 2023. Ujian amali bagi matapelajaran Sains Tambahan juga telah dilaksanakan pada 2 Februari 2023. Penambahbaikan ini dilakukan bagi memberikan keselesaan kepada calon untuk menduduki ujian tersebut dalam keadaan bersedia. Kesemua ujian amali sains telah selesai dilaksanakan dengan lancar dan teratur\u201d.\nSelain itu, beliau turut menegaskan bahawa calon SPM 2022 juga perlu menduduki ujian bertutur dan ujian mendengar sebagaimana calon SPM 2021 yang akan dilaksanakan pada 7 hingga 9 Februari 2023 bagi ujian bertutur bahasa Melayu. Sementara itu, pada 13 hingga 16 Februari 2023 kelak merupakan tarikh bagi ujian bertutur bahasa Inggeris. Kemudian pada 16 Februari 2023 akan berlangsungnya ujian mendengar bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Tegas beliau lagi, \u201cPeperiksaan pada kali ini dikendalikan seperti biasa sebagaimana pada tahun-tahun sebelum pandemik COVID-19 melanda. Hal ini bermakna, pengurusan pengendalian SPM, STAM, dan UPBA tahun 2022 tidak lagi tertakluk pada garis panduan dan SOP yang telah dikeluarkan semasa pandemik COVID-19. Namun begitu, Lembaga Peperiksaan sentiasa mengingatkan kepada semua pihak yang terlibat dalam pengurusan dan pengendalian peperiksaan awam bagi tahun 2022 untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa menjaga kesihatan diri, bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan pada kali ini. Oleh itu, semua pihak yang terlibat termasuklah calon peperiksaan amat digalakkan untuk mengamalkan kawalan kendiri seperti memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman dan menjaga jarak fizikal. Calon dan petugas peperiksaan tidak lagi diwajibkan memakai pelitup muka dan mengisi borang deklarasi saringan COVID-19. Guru bertugas dan pihak sekolah juga tidak perlu lagi mengambil suhu calon-calon, sebelum mereka memasuki dewan peperiksaan. Sekiranya calon disahkan telah dijangkiti COVID-19, calon perlu mendapatkan pengesahan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan memaklumkan dengan segera kepada pihak sekolah untuk dipanjangkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri dan akan memanjangkan perkara ini kepada Lembaga Peperiksaan bagi tindakan selanjutnya.\u201c\nBeliau turut menyatakan keyakinan terhadap persiapan calon-calon peperiksan awam tahun 2022. Sebagaimana ujar beliau, \u201cSaya yakin semua calon telah bersedia dan masih gigih meneruskan usaha bagi menduduki peperiksaan yang seterusnya, terutamanya peperiksaan bertulis SPM yang akan dilaksanakan pada 20 Februari hingga 15 Mac 2023 kelak. Kini, masih berbaki beberapa hari lagi untuk calon membuat persiapan.\u201c Beliau juga turut mengingatkan bahawa semua calon peperiksaan perlu memberi perhatian terhadap perkara-perkara berikut:\n\u201cSaya juga ingin mengambil peluang ini untuk mengingatkan semua calon untuk membaca dan memahami semua amaran peperiksaan yang terkandung dalam jadual waktu peperiksaan. Ingin saya tegaskan di sini bahawa calon diingatkan supaya tidak membawa apa-apa bahan larangan ke dalam dewan atau bilik peperiksaan. Antara bahan larangan yang dimaksudkan adalah seperti nota, catatan, telefon bimbit ataupun jam pintar yang boleh menyimpan maklumat atau nota. Sekiranya calon didapati melanggar peraturan ini, maka calon dianggap telah melakukan kes salah laku yang boleh diambil tindakan,\u201c demikian tambah beliau lagi.\nPada sesi akhir temubual, beliau sempat menjelaskan mengenai perihal persediaan dari pihak KPM sekiranya berlaku kes luar jangka menjelang hari peperiksaan. Beliau berkata, pihak Jabatan Pendidikan Negeri, khususnya Sektor Peperiksaan dan Pentaksiran sentiasa bersiap siaga dan menjalinkan kerjasama yang erat dengan agensi kerajaan dalam memastikan kelancaran dan kelangsungan pengendalian peperiksaan awam bagi tahun 2022. \u201cBerdasarkan pengalaman sebelum ini, Jabatan Pendidikan Negeri dan juga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sentiasa bersiap sedia dengan pelan kontigensi bagi berhadapan dengan sebarang kes luar jangka. Walaupun berdepan dengan cabaran dan halangan, KPM dan Lembaga Peperiksan sentiasa berusaha dan komited demi memastikan calon dapat menduduki peperiksaan seperti yang dijadualkan agar dapat berjalan dengan lancar,\u201c ujar beliau semasa mengakhiri sesi temu bual tersebut." "Vandalisme: Sekumpulan Pelajar Dilibatkan dalam Khidmat Komuniti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPulau Pinang \u2013 Berhubung dengan video penularan sekumpulan pelajar yang terlibat dalam aktiviti vandalisme di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Seberang Perai Selatan (SPS), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang memandang serius terhadap isu berkenaan dan memanggil pelajar terbabit bersama-sama penjaganya untuk membantu siasatan lanjut.\nMenurut JPN Pulau Pinang\u00a0dalam kenyataannya pada hari ini, sekumpulan pelajar terbabit telah dikenal pasti dan mereka akan dilibatkan dalam khidmat komuniti\u00a0sebagai intervensi sahsiah dan adab bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang lagi.\nLangkah didikan akhlak dan pencegahan segera akan diambil bagi memastikan kes sedemikian tidak berulang lagi.\nPihak pentadbir sekolah pada semua peringkat diingatkan agar mengambil langkah sewajarnya bagi membendung dan mencegah perlakuan sedemikian, tegas JPN Pulau Pinang mengulas mengenai isu vandalisme dan gangsterisme yang membabitkan pelajar sekolah itu.\nSementara itu, JPN Pulau Pinang turut mengambil maklum tentang rakaman video tular yang memaparkan perlakuan pelajar merosakkan harta benda sekolah pada hari akhir sesi persekolahan 2022.\nWalau bagaimanapun, bagi memastikan kesejahteraan pelajar terbabit, JPN menyeru semua portal yang menyiarkan video tersebut tanpa menutup muka murid disaran untuk memadam kerana bercanggah dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.\n\u201cKempen hentikan vandalisme dan pelan tindakan yang komprehensif akan dipergiat agar selari dengan tujuh teras Kementerian Pendidikan Malaysia.\u201d" "Jelajah Bahasa Bersempena dengan Program DBK Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nWilayah Persekutuan Labuan \u2013 Sebanyak 20 pasukan telah menyertai Pertandingan Jelajah Bahasa bersempena dengan Program Dekad Bahasa (DBK) Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan semalam di Anjung Budaya Perbadanan Labuan yang bermula pada pukul 7.00 pagi.\nPertandingan ini melibatkan tiga hentian, iaitu Muzium Taman Chimney, Pusat Sukan Laut dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) \u2013 Kampus Antarabangsa Labuan(KAL). Di setiap hentian, para peserta diberikan tugasan yang berbentuk kebahasaan seperti peribahasa dan teka teki bahasa.\nDalam pertandingan tersebut, tempat pertama menjadi milik kumpulan SITC, yang menerima hadiah wang tunai bernilai RM1500. Naib juara pertandingan pula dimenangi oleh kumpulan OPTIMIS yang memenangi hadiah wang tunai bernilai RM1000.00 dan RM800 untuk Kumpulan KERUPANG THUNDERS sebagai pemenang tempat ketiga, manakala hadiah sagu hati sebanyak RM500 diberikan kepada tiga kumpulan, iaitu kumpulan FIRE, THE RUNNER dan MENTOS.\nPelepasan konvoi para peserta telah disempurnakan oleh Tuan Hj. Rithuan Hj. Mohd Ismail, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (Pengurusan). Yang turut hadir ialah Encik Rusdi Awang, Timbalan Pengarah I DBP Cawangan Sabah, Encik Fadilah Hj. Mohammad, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perbandaran) Perbadanan Labuan, Puan Jennitah Noordin, Timbalan Pengarah II DBP Cawangan Sabah dan Puan Haslizah Hassan, Ketua Unit Perpustakaan Awam Perbadanan Labuan." "KPM Komited Mewujudkan Sistem Pendidikan Negara yang Seimbang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Slogan Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC) merupakan slogan yang sering diungkapkan oleh Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato\u2019 Haji Pkharuddin Haji Ghazali yang memfokuskan kaedah untuk melahirkan pelajar yang mempunyai sahsiah diri yang baik, sekali gus meningkatkan daya intelektual dalam kalangan pelajar. Menurut YBhg. Dato\u2019 Haji Pkharuddin ketika menjadi tetamu dalam program Sembang Didik yang diadakan pada malam ini, slogan tersebut dihasilkan sebagai usaha untuk memberikan pemahaman yang mudah diterima oleh masyarakat untuk dihayati.\nTambah beliau, slogan tersebut merupakan inspirasi yang diperoleh oleh beliau ketika menjawat jawatan sebagai Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan yang melihat pelajar mempunyai tekanan untuk mencapai prestasi akademik yang cemerlang. Beliau berpandangan bahawa tekanan tersebut telah membuatkan sistem pendidikan negara menjadi tidak seimbang.\nBeliau turut berkata,\nTidak dapat dinafikan bahawa setiap ibu bapa sanggup menyediakan peruntukan kewangan untuk pendidikan anak-anak. Walau bagaimanapun, peruntukan tersebut cukup tinggi berbanding dengan melahirkan anak yang baik. Sebagai contoh, pendedahan tentang adab dapat diajar sejak dari kecil lagi dan akan berterusan.\nBeliau turut mengupas tentang Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang jelas menyatakan bahawa pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, iaitu berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.\nFalsafah Pendidikan Kebangsaan\u00a0\n\u201cKonsep ABC turut sejajar dengan aspirasi tujuh hala tuju yang menjadi tunjang KPM, iaitu menekankan aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti dalam kalangan pelajar,\u201d ujar beliau.\nPada akhir sesi bual bicara tersebut, beliau turut berharap supaya setiap pihak bekerjasama dalam usaha untuk mendukung sistem pendidikan negara agar mampu melahirkan anak yang baik lagi cerdik." "Selamat Maju Jaya buat Calon SPM \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar\u00a0\u2013 Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan ucapan selamat maju jaya kepada semua calon pelajar yang akan menduduki Peperiksaan Bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 bermula esok hingga 15 Mac 2023.\nMenurut baginda, sektor pendidikan merupakan elemen penting dalam menyediakan modal insan mampan bagi memastikan kejayaan yang dihasratkan dapat direalisasikan\u00a0dengan jayanya.\nPendidikan berkualiti dapat dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.\nMenjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan sistem pendidikan mampu melahirkan modal insan berkualiti, berkebolehan menguasai dan mengaplikasi ilmu, serta memiliki daya kreativiti dan inovasi tinggi.\nSama-sama kita mendoakan yang terbaik buat mereka.\nDemikianlah\u00a0titah Tuanku Raja Muda\u00a0selepas berkenan berangkat mengetuai program Kayuhan Berbasikal MAIPs Peduli bagi menyantuni keluarga asnaf anjuran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).\nAntara penerima sumbangan agihan zakat yang disampaikan oleh Tuanku Raja Muda ialah Bakar Abdullah,\u00a088 tahun yang tinggal di Kampung\u00a0Titi Tok Bandar, Hannah Abdullah,\u00a058 tahun rumahnya di Kampung\u00a0Tok Kuning dan Siti Minah Man,\u00a065 tahun bermastautin di Kampung Hutan Melintang." "Lembaga Peperiksaan Menjawab Isu Tular dalam Pelaksanaan UMBI SPM 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada hari ini memberikan penjelasan yang berkaitan dengan isu tular dalam Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (UMBI) bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 yang telah dijalankan pada 16 Februari 2023 (Khamis).\nMenerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh LP, pelaksanaan UMBI SPM tahun 2022 telah mendapat perhatian masyarakat apabila terdapat beberapa dakwaan dalam media sosial berkaitan dengan kadar kelajuan pertuturan dan penggunaan penggiat TikTok sebagai pelontar suara. Keputusan LP menggunakan bahan audio dan kertas soalan UMBI SPM tahun 2022\u00a0 dibuat berdasarkan ketetapan yang berikut.\nOleh itu, LP menegaskan bahawa penggiat TikTok sebagai pelontar suara audio UMBI SPM tahun 2022 adalah tidak tepat. Dalam kenyataan media yang sama, LP memaklumkan bahawa pelontar suara yang digunakan dalam membina item atau instrumen UMBI SPM tahun 2022 adalah terdiri dalam kalangan guru, pensyarah, murid sekolah atau penuntut universiti. Pelontar suara merupakan individu yang berwibawa dalam berbahasa Inggeris. Selain itu, mereka yang terlibat juga telah diberikan latihan sebelum proses pembinaan item atau instrumen UMBI SPM tahun 2022.\nSehubungan dengan itu, LP yakin bahawa kualiti bahan audio dan kertas soalan UMBI SPM tahun 2022 kekal utuh. LP akan memastikan kepentingan dan keadilan kepada calon yang menduduki peperiksaan SPM tahun 2022 adalah terjamin." "Calon SPM 2022: Doa, Fokus dan Tenang \u2013 YB Menteri Pendidikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek mengucapkan selamat maju jaya kepada 403 637 calon yang menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 pada hari pertama, hari ini.\nDalam ucapan ringkasnya ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Empat pada pagi tadi, YB Puan Fadhlina Sidek berkesempatan untuk memberikan semangat dan nasihat kepada calon agar usaha dan kegigihan mereka akan membawa kejayaan yang bermakna.\n\nSelamat maju jaya kepada semua.\u00a0Saya mendoakan agar kejayaan buat semua pelajar SPM.\nDoa, fokus dan tenang.\n\u201cSaya juga berharap agar calon mendapat ketenangan, keselesaan dan kemudahan yang lengkap sepanjang tempoh peperiksaan dijalankan,\u201d kata YB Puan Fadhlina Sidek selepas membuat tinjauan persiapan sekolah dan Lembaga Peperiksaan.\nMemandangkan peperiksaan SPM ini adalah rutin sekolah pada setiap tahun, saya percaya kepakaran pihak sekolah, ahli lembaga peperiksaan, Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri telah membuktikan bahawa persiapan telah dilaksanakan dengan baik.\nMenurut YB Puan Fadhlina Sidek dalam sidang media tadi, sebagai ibu bapa dan penjaga, doa, sokongan dan komunikasi merupakan medium yang sangat penting dalam memberikan suntikan semangat, serta beliau percaya bahawa perkara ini mampu mendorong kejayaan kepada anak-anak.\nMengulas lanjut berkaitan dengan SPM 2022, sebanyak 131 318 petugas dilantik dan 3355 pusat disediakan di seluruh negara bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.\nYang turut hadir bersama-sama dalam lawatan kunjungan ialah Pengarah Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia, YBrs. Dr. Mohd Azam Ahmad dan Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, YBrs. Puan Rohayati Abd. Hamed." "Lawatan Kerja DYTM Raja Muda Perlis ke Pejabat Jemaah Dato-Dato Negeri Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Jemaah Dato-Dato Negeri Perlis di Kangar.\nKeberangkatan tiba baginda selaku Penaung Jemaah buat pertama kalinya ke pejabat berkenaan yang telah dibeli pada tahun 2012 itu disambut oleh Presiden Jemaah Dato-Dato Negeri Perlis, Mejar Jeneral Dato\u2019 Husin Md Tahak (B) serta ahli-ahli jawatankuasa beliau.\nHusin seterusnya mempersembahkan taklimat terkini mengenai Aset Jemaah,\u00a0 Struktur Organisasi, Ekonomi dan Perniagaan serta Majlis Santapan Malam Tahunan 2023 yang dicadangkan pada bulan Oktober atau November ini.\nTurut dimaklumkan kepada baginda ialah kejayaan kerjasama strategik pihak Jemaah bersama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis melaksanakan Program Kecemerlangan Pendidikan yang melibatkan para pelajar Tingkatan 5 di 10 buah sekolah menengah sekitar negeri Perlis yang dimasukkan dalam program ini setiap tahun bagi mengapungkan para pelajar berprestasi rendah di kategori C dan D. Program berbentuk tuisyen ini dikendalikan oleh guru-guru yang dilantik oleh Jabatan Pendidikan Negeri. Kelas-kelas tuisyen dilaksanakan 3 kali seminggu melibatkan mata pelajaran wajib lulus, iaitu Bahasa Melayu, Matematik dan Sejarah di sekolah masing-masing di luar masa persekolahan biasa.\nPada kesempatan yang sama DYTM Tuanku Raja Muda mengucapkan tahniah kepada Jemaah Dato\u2019-Dato\u2019 Perlis atas usaha mengembangkan sayap dengan penubuhan Yayasan Jemaah Dato\u2019-Dato\u2019 Perlis yang berorientasikan perniagaan. Baginda bertitah menasihatkan agar mereka yang diberikan amanah akan mengambil pendekatan yang cermat dan penuh berhati-hati.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mengesyorkan supaya kempen memperbanyak lagi keahlian diteruskan dengan lebih giat lagi bagi menarik perhatian Dato\u2019-Dato\u2019 di luar sana tentang kewujudan pertubuhan ini. Insya-Allah, apabila tujuan dan matlamat penubuhan dan khidmat bakti yang boleh dicurahkan kepada masyarakat menerusi pertubuhan ini dihebahkan, Jemaah Dato\u2019-Dato\u2019 Perlis akan lebih menyerlah pada masa hadapan.\nUntuk rekod, Jemaah Dato\u2019-Dato\u2019 Perlis yang merupakan sebuah badan NGO didaftarkan pada 12 Disember tahun 2001 dan kini mempunyai jumlah keahlian secara sukarela seramai 216 orang. Walau bagaimanapun 21 orang telah meninggal dunia dan jumlah terkini adalah seramai 195 orang sahaja. Keahlian Jemaah ini terdiri daripada penerima anugerah Dato\u2019-dato\u2019 Perlis sebagai Ahli Biasa, sementara Dato\u2019-Dato\u2019 yang mendapat kurniaan luar dari Perlis sebagai Ahli Bersekutu. Ahli Kehormat pula dilantik oleh Jawatankuasa Jemaah terdiri daripada mereka yang dikenal pasti dapat membantu dan memajukan perjalanan Jemaah." "Budaya Korporat DBP Seiring dengan Konsep Malaysia Madani\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) lahir daripada semangat dan sejarah perjuangan untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Berdasarkan semangat inilah, maka dibentuk Budaya Korporat DBP bagi melahirkan manusia yang bertanggungjawab terhadap kerja dan sikapnya.\nMenurut Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, pada hakikatnya Budaya Korporat DBP tanpa disedari merupakan terjemahan kepada Malaysia Madani seperti yang digariskan oleh Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim pada 19 Januari lalu.\nKerangka Madani itu sudah lama dipancangkan dan diterapkan dalam roh organisasi ini dan kini berada dalam kerangka yang lebih menyeluruh.\nDalam membina dan mendaulatkan bahasa kebangsaan, kita tidak seharusnya berasa usaha kita sudah cukup sempurna dalam membawa perubahan seperti yang terkandung dalam visi dan misi DBP.\nKita juga tidak boleh menjadikan pencapaian tahunan sebagai tanda aras utama terhadap segala tugasan. Pada hari ini, kesempurnaan bukanlah satu-satunya penanda aras dalam mengukur kecemerlangan perkhidmatan awam.\nYBrs. Dr. Hazami Jahari mengakui bahawa organisasi ini masih terkait dengan beberapa isu yang perlu diberikan perhatian dan penelitian, sama ada isu dalaman mahupun luaran.\nNamun begitu, beliau mengatakan bahawa semangat islah amat penting untuk diutamakan dengan memastikan perkara yang dilakukan ada penambahbaikan dari semasa ke semasa.\nKita perlu tanamkan semangat islah ini dalam diri setiap warga DBP agar organisasi ini dapat menjadi sebahagian daripada penggerak kemajuan negara.\nMenerusi amanatnya pada hari ini, YBrs. Dr. Hazami Jahari menyeru seluruh warga DBP agar terus melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh iltizam, berintegriti dan berlandaskan semangat islah, sebagai tanda kita mensyukuri setiap peluang dan rezeki yang masih menjadi milik kita sehingga hari ini.\nBerpegang pada slogan \u201cBahasa Jiwa Bangsa\u201d, YBrs. Dr. Hazami Jahari menjelaskan bahawa kesemua isu sedia ada perlu diurus dan dicari jalan penyelesaiannya secara baik, berhikmah dan berkesan. Beliau turut memberikan penekanan terhadap peri pentingnya peranan semua pihak tanpa berkecuali, iaitu dari peringkat atasan hingga ke peringkat bawahan dan dari bawah ke atas supaya dapat bekerja sebagai satu pasukan.\nYBrs. Dr. Hazami juga turut memberikan perhatian terhadap usaha pengukuhan dan pembentukan karyawan yang berketerampilan, berkualiti dan berdaya usaha tinggi.\nKita semua mempunyai amanah yang perlu dilunaskan dengan satu matlamat akhir, iaitu kita dapat meletakkan bahasa, sastera dan ilmu pada kedudukan yang disegani, diyakini dan dihormati.\nDemikianlah antara amanat YBrs. Dr. Hazami Jahari sebagai Ketua Pengarah DBP semasa mengakhiri ucapannya dengan hasrat bahawa beliau akan berusaha mengemudi DBP ke arah yang lebih baik untuk membentuk DBP yang Madani, sekali gus menerapkan konsep Malaysia Madani seperti yang diimpikan oleh pucuk pimpinan negara. Majlis amanat tersebut berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada pagi tadi." "Menyingkap Pembangunan Negara Madani\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pada 19 Januari 2023, Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim telah memperkenalkan konsep Malaysia Madani sebagai aspirasi yang dibawa oleh beliau bagi mentadbir negara sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10. Pada hari tersebut juga, turut diadakan majlis pelancaran buku Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi yang diterbitkan oleh Institut Darul Ehsan (IDE).\nOleh itu, sebagai usaha untuk memperkenalkan konsep Malaysia Madani berdasarkan aspirasi yang diilhamkan oleh\u00a0 Perdana Menteri,\u00a0YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim, maka Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Wacana Pembangunan Negara MADANI yang disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif Institut Darul Ehsan, YBhg. Dato\u2019 Haji Ismail Yusop dan Pengurus Kanan (Penyelidikan) Institut Darul Ehsan, Encik Khairul Ariffin Mohd Munir.\nMenurut YBhg. Dato\u2019 Haji Ismail Yusop, buku Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi merupakan rumusan perjalanan perjuangan Perdana Menteri, YAB\u00a0Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim selama lebih empat dekad, iaitu bermula sejak tahun 1970-an sehingga beliau akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.\nTambah beliau, tempoh empat dekad tersebut bukan merupakan suatu perjalanan dan proses pembinaan negara bangsa yang berlaku secara kebetulan. Bahkan, tempoh tersebut memperlihatkan perjalanan yang penuh dengan liku dan cabaran yang berlaku dalam negara.\nBeliau turut berkata,\nPerkataan Madani yang digunakan untuk menamakan himpunan ciri-ciri utama negara Malaysia mengikut manhaj Malaysia. Kerangka Madani merupakan ikhtiar yang bersepadu dan holistik. Selain itu, kerangka ini membolehkan segala dasar yang digubal menjadi lebih manusiawi yang sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat.\nPada masa yang sama, YBhg. Dato\u2019 Haji Ismail Yusop turut berkongsi pendekatan untuk menghadapi cabaran, iaitu memerlukan suatu penambahbaikan yang radikal, selain bergandingan bersama-sama rakyat untuk mendepani perubahan dalam konteks kerajaan perpaduan; dan meraikan kepelbagaian serta mengambil kira nilai daripada latar belakang agama, etnik dan wilayah yang berbeza.\nPengurus Kanan (Penyelidikan) Institut Darul Ehsan, Encik Khairul Ariffin Mohd Munir turut berkongsi pandangan bahawa Madani juga menjadi dasar setiap teras bagi memperkukuh lapan keperluan dalam pembangunan negara, iaitu ekonomi, kewangan, perundangan, pendidikan, kemasyarakatan, kebudayaan, bandar dan luar bandar.\nBeliau turut menyarankan masyarakat agar menelusuri konsep Madani yang digarap oleh Perdana Menteri dan menjadikan buku tersebut sebagai rujukan bahan bacaan. Hal ini seiring dengan keperibadian Perdana Menteri yang menjadikan amalan membaca sebagai rutin dalam kehidupan beliau.\nWacana yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada pagi tadi turut dihadiri oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Tuan Haji Md. Johari Hasan; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Encik Zulfa Hamzah; pengarah jabatan, ketua bahagian, pegawai kanan dan seluruh karyawan DBP." "\u201cOrphan Work\u201c: Pengkomersialan Karya yang Tidak Dijumpai Pemunya Hak Cipta\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nApa itu Hak Cipta\nHak cipta ialah suatu hak eksklusif yang diberikan oleh undang-undang untuk tempoh masa tertentu kepada pemunya karya untuk mengawal penggunaan karya mereka. Di bawah Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332), pemunya hak cipta mempunyai hak eksklusif untuk melakukan pengeluaran semula sesuatu karya dalam apa-apa bentuk bahan, melakukan penyampaian kepada masyarakat awam, membuat pertunjukan, tayangan atau permainan kepada awam, melakukan pengedaran salinan-salinan kepada awam melalui penjualan atau pemindahan pemunyaan lainnya; dan melakukan penyewaan secara komersial kepada masyarakat awam.\nPemunya hak cipta juga mempunyai hak untuk menghalang sebarang penggunaan karya hak ciptanya tanpa kebenaran tertakluk pada Akta Hak Cipta 1987. Sebarang penggunaan karya tanpa kebenaran ialah suatu pelanggaran sivil dan jenayah hak cipta dan boleh dikenakan tindakan di mahkamah. Maka, sebarang penggunaan karya hak cipta hendaklah mendapatkan keizinan bertulis daripada pemunya hak cipta.\nDefinisi dan Latar Belakang \u201cOrphan Work\u201d\n\u201cOrphan Work\u201d boleh ditakrifkan sebagai karya hak cipta yang dilindungi, namun pemunya karya tersebut tidak dijumpai atau dikesan. \u201cOrphan Work\u201d juga merupakan karya-karya yang wujud, tetapi penggunaan secara sah tidak tersedia melalui lesen atau penjualan oleh sebab pemunya hak cipta tersebut tidak dapat dikenal pasti untuk proses mendapatkan keizinan penggunaan karya tersebut.\u00a0 Di Malaysia, tiada definisi jelas berkaitan \u201cOrphan Work\u201d sama ada boleh dikategorikan sebagai karya tanpa nama \u201cAnonymous Work\u201d atau \u201cUnknown Work\u201d, iaitu karya yang tidak diketahui.\nBerbeza daripada karya hak cipta sedia ada, \u201cOrphan Work\u201d juga merupakan suatu karya hak cipta yang wujud dan dilindungi, namun pemunya karya tersebut tidak dapat dikesan atau dihubungi melalui apa-apa cara atau pembuktian dokumen. Permasalahan baharu timbul apabila kebenaran bagi penggunaan karya tidak dapat diperoleh daripada pemunya hak cipta untuk tujuan pengkomersialan karya tersebut. Akta Hak Cipta 1987 juga tidak memperuntukkan undang-undang yang membenarkan pengkomersialan karya tersebut melainkan dengan mendapatkan kebenaran pemunya hak cipta.\nPrinsip \u201cOrphan Work\u201d\nSecara amnya, pihak yang berminat dan ingin menggunakan karya-karya hak cipta hendaklah mendapatkan kebenaran daripada pemunya kepada sesuatu karya sebelum karya tersebut digunakan. Penggunaan karya tanpa kebenaran merupakan pelanggaran hak cipta yang mana pengguna karya \u201cOrphan Work\u201d tersebut boleh diambil tindakan undang-undang sivil atau undang-undang jenayah oleh pemunya karya.\nKebenaran untuk menggunakan \u201cOrphan Work\u201d ini adalah untuk mengelakkan timbulnya pertikaian antara pemunya \u201cOrphan Work\u201d dengan pengguna karya sekiranya pemunya muncul menuntut haknya terhadap penggunaan komersil. Sesuatu karya hak cipta \u201cOrphan Work\u201d yang tidak diketahui identiti pencipta atau pemunyanya berkemungkinan masih dalam tempoh perlindungan hak cipta atau karya telah pun berada di domain awam atau \u201cpublic domain\u201d. Penggunaan \u201cOrphan Work\u201d yang masih dalam tempoh perlindungan hak cipta secara amnya memerlukan kebenaran daripada pemunya karya manakala karya domain awam atau \u201cpublic domain\u201d ialah karya hak umum dan boleh digunakan oleh sesiapa sahaja tanpa kebenaran.\nSelain itu, sesuatu karya boleh menjadi karya \u201cOrphan Work\u201d disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya:\nKeperluan Penggunaan\nOleh sebab identiti pemunya karya \u201cOrphan Work\u201d tidak dapat dikesan dan dikenal pasti, hal ini boleh menyukarkan pengguna yang ingin menggunakan karya \u201cOrphan Work\u201d mendapatkan kebenaran untuk menggunakan karya tersebut dan boleh menimbulkan beban kepada pengguna yang berkemungkinan akan berhadapan dengan tindakan mahkamah disebabkan oleh pelanggaran hak cipta. Hal ini akan berlaku sekiranya pemunya karya \u201cOrphan Work\u201d muncul menuntut haknya pada masa hadapan sebagai pemunya hak eksklusif di bawah perundangan hak cipta.\nPenulis merasakan bahawa keperluan untuk kemasukan peruntukan baharu \u201cOrphan Work\u201d adalah perlu dan patut mengambil kira permintaan oleh orang awam. Kaedah dan prosedur yang sesuai perlu dilaksanakan sebagai satu daripada penyelesaian kepada isu \u201cOrphan Work\u201d\u00a0 bagi memudahkan pengguna yang tidak dapat mengesan pemunya karya tersebut setelah usaha dan carian yang munasabah telah dilaksanakan sebelum hasil karya tersebut dapat digunakan.\nPihak yang berkepentingan khususnya institusi pendidikan, perpustakaan awam dan swasta, pihak arkib, muzium, institusi pembelajaran, sains dan profesional secara asasnya perlu menyimpan karya hak cipta atau maklumat yang dilindungi hak cipta untuk kegunaan orang ramai. Apabila karya tersebut disimpan, maka proses untuk mendapatkan keizinan penggunaan karya akan menjadi lebih mudah memandangkan pengguna hanya perlu merujuk institusi dan organisasi terlibat untuk tujuan penggunaan secara komersil.\nOleh itu, penggubalan dasar dan suatu peruntukan baharu bagi menyelesaikan masalah penggunaan \u201cOrphan Work\u201d yang berlaku di Malaysia adalah penting agar dapat membantu mengurangkan konflik dan pertikaian antara pemunya karya yang tidak dapat dijumpai dengan pengguna karya selepas pengkomersialan sesuatu karya tersebut. Selain itu, cadangan penggubalan prosedur baharu \u201cOrphan Work\u201d yang sesuai ini boleh dikemukakan untuk dilaksanakan sebagai memberi faedah kepada ekonomi perundangan di samping menjadikan penggunaan karya \u201cOrphan Work\u201d dapat dilesenkan dan digunakan daripada terbiar dan menjadi satu daripada sumber pendapatan pengguna dan pemunya atau waris karya \u201cOrphan Work\u201d bagi membangun industri kreatif semasa.\nFaedah kepada Pengguna dan Pemunya Karya Hak Cipta \u201cOrphan Work\u201d\nAntara faedah \u201cOrphan Work\u201d adalah seperti berikut:\nSecara tidak langsung pengkomersialan karya \u201cOrphan Work\u201d oleh pengguna dapat memberikan pendapatan kepada pemunya hak cipta melalui bayaran royalti atau apa sahaja fi yang munasabah yang akan dikenakan hasil daripada penggunaan karya tanpa kebenaran tersebut.\nJika sesuatu karya \u201cOrphan Work\u201d itu dibiarkan tanpa diambil manfaat, karya tersebut akan menjadi tidak berguna dan tidak akan menyumbang kepada nilai komersil. Dengan kewujudan peruntukan baharu ini, karya \u201cOrphan Work\u201d dapat diperkenalkan dan dikomersialkan secara meluas pada peringkat industri domestik dan antarabangsa.\nSelain menghubungkan karya \u201cOrphan Work\u201d dengan pemunya hak cipta, pihak ketiga secara tidak langsung dapat menggunakan karya \u201cOrphan Work\u201d ini tanpa halangan dan kekangan selagi tidak melanggar sebarang peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.\nAmalan di Negara Luar\nUndang-undang Hak Cipta Jepun membenarkan pengguna memohon kepada Pesuruhjaya Badan Hal Ehwal Kebudayaan (Agency for Cultural Affairs), Pejabat Hak Cipta Jepun untuk menggunakan beberapa jenis karya \u201cOrphan Work\u201d seperti buku, filem dan rakaman bunyi. Pemohon mestilah telah berusaha terlebih dahulu mencari pemunya karya. Sekiranya pemohon masih gagal, pemohon perlu membayar deposit pampasan pemunya karya tersebut melalui badan yang dilantik oleh kerajaan. Amaun pampasan bagi setiap permohonan akan diputuskan oleh Badan Hal Ehwal Kebudayaan dengan persetujuan Majlis Kebudayaan (Council of Culture) dan kadar pampasan adalah berdasarkan pada kadar royalti yang bersesuaian (ordinary royalty rate) dan tempoh penggunaan bagi tempoh tertentu. Selepas itu, pemohon boleh menggunakan karya tersebut secara komersil tanpa halangan.\nDi Kanada, pemohon boleh menggunakan karya \u201cOrphan Work\u201d \u00a0jika pencipta sesuatu karya hak cipta hanya tidak dapat dikesan dan selepas carian munasabah (Diligent Search) dibuat oleh pengguna. Pengguna hanya perlu memohon kepada Copyright Board of Canada bagi mendapatkan lesen untuk mengguna pakai karya tersebut. Copyright Board of Canada akan menentukan fi lesen atau royalti yang akan dikenakan, tempoh pelesenan dan bagaimana karya tersebut boleh diguna pakai. Hasil kutipan penggunaan kemudiannya akan disalurkan terus kepada badan yang mewakili pemunya yang tidak dijumpai tersebut melalui badan pelesenan.\nHungary hanya membenarkan penggunaan karya-karya \u201cOrphan Work\u201d bagi pengguna atau pemohon juga hanya selepas pencarian dibuat. Pengguna yang ingin menggunakan karya tersebut perlu melampirkan bukti pencarian dan membayar pampasan untuk tujuan penggunaan karya tersebut. Pihak kerajaan akan menentukan penggunaan tersebut sama ada diluluskan atau pun tidak. Jika lulus, kerajaan akan menetapkan tempoh lesen penggunaan tersebut hanya terpakai tidak melebihi lima tahun dan hanya sah di Hungary sahaja, manakala hak penggunaan tersebut terus akan diberikan kepada pemohon dan tidak boleh dipindah milik kepada orang lain.\nHala Tuju \u201cOrphan Work\u201d di Malaysia\nPada masa ini, tiada peruntukan perundangan hak cipta yang khusus berkaitan dengan \u201cOrphan Work\u201d. Sebagai langkah permulaan mewujudkan karya \u201cOrphan Work\u201d \u00a0ini, kajian secara terperinci mengenai pelaksanaan undang-undang dan amalan negara luar yang mempunyai peruntukan terhadap karya \u201cOrphan Work\u201d dan sistem pengurusan terhadap karya tersebut boleh dijalankan bagi membangunkan sistem yang bersesuaian di Malaysia.\nKeperluan untuk mewujudkan peruntukan baharu ini boleh mengikut amalan yang bersesuaian dengan persekitaran industri hak cipta di Malaysia dan secara tidak langsung membantu meningkatkan pendapatan pengguna dan pemunya hak cipta secara keseluruhannya. \u201cOrphan Work\u201d ini juga dijangka boleh memberikan pulangan baik kepada negara, pengguna, pencipta dan industri kreatif secara keseluruhannya." "China dan Amerika Syarikat dalam Persaingan Ekonomi Teknologi Tinggi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada zaman silam, ciri yang menentukan kekuatan sesebuah negara ialah keluasan tanah jajahan. Namun begitu, aspek ketamadunan kini telah berubah. Pada zaman ini, keluasan tanah tidak semestinya menjadi ciri penting bagi kekuatan sesebuah negara lagi. Kekuatannya ditentukan tidak setakat pada kebolehan mencipta dan memiliki teknologi tinggi, tetapi yang sama pentingnya juga ialah kebolehan mengurus dan mengawal teknologi berkenaan. Hal ini membawa pengertian bahawa untuk menjadi negara terkuat di dunia, perang secara terbuka antara negara tidak lagi ditentukan berasaskan senjata sahaja, namun ditentukan oleh perang persaingan dalam memajukan teknologi tinggi terutamanya dalam teknologi ketenteraan.\nPada tahun 1989, Michael E. Porter menghasilkan sebuah buku yang memberikan gambaran terhadap kepentingan teknologi ini. Karyanya bertajuk The Competitive Advantage of Nations menunjukkan bahawa betapa pentingnya sesebuah negara itu mengeluarkan produk negaranya yang kompetitif sebagai syarat untuk memastikan produk tersebut mengungguli pasaran dunia. Buku ini sememangnya wajar dibaca oleh rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi apabila buku ini menjadi laris atau the best seller selepas tahun 1989.\nSebagai catatan, selepas keruntuhan Kesatuan Soviet, persaingan teknologi tidak lagi ketara antara Amerika Syarikat (AS) dengan Rusia, tetapi lebih menonjol antara AS dengan China. Memandangkan penentuan kekuatan negara adalah berdasarkan ciri kekuatan teknologi tinggi ini, bagi memastikan sesebuah negara itu sentiasa berada jauh ke hadapan dari segi teknologi, kerajaan sesebuah negara perlu campur tangan dalam industri ini walaupun dalam sistem yang tegar dengan mekanisme pasaran bebas. Hal ini membawa pengertian bahawa Malaysia juga perlu melakukan sesuatu untuk terus ke hadapan. Oleh itu, penyelidikan dan pembangunan (R&D) berteknologi tinggi amat diperlukan dan kerajaan mesti memperuntukkan perbelanjaan yang besar dan menyediakan subsidi kepada pemain industri bagi menjayakan pembangunan teknologi yang berkenaan.\nUntuk menjadi negara adikuasa, inovasi dan teknologi ketenteraan merupakan industri utama yang perlu diberi tumpuan. Setakat ini, AS masih mengungguli teknologi ketenteraan dunia. Walaupun terdapat dakwaan Rusia dan China mungkin lebih kompetitif dalam aspek tersebut, namun masing-masing merahsiakan kecanggihan teknologi ketenteraan negara mereka.\nMalaysia juga seharusnya lebih serius untuk muncul sebagai sebuah negara yang kompetitif dalam industri berteknologi tinggi, walaupun tidak dikenali dalam industri ketenteraan. Di AS misalnya, The U.S. Defense Advanced Research Projects Agency (DARPA) telah ditubuhkan di bawah Jabatan Pertahanan negara berkenaan semenjak tahun 1958 lagi. Agensi ini bertanggungjawab membiayai universiti dan industri bagi memajukan teknologi ketenteraan. Semasa Perang Dunia Kedua, negara berkenaan melonjakkan lagi pengeluaran teknologi nuklear dengan pelaburan yang sangat besar di bawah projek yang disebut sebagai \u201cManhattan\u201d.\nSepanjang era Perang Dingin pula, AS memfokuskan teknologi angkasa di bawah program Apollo dengan peruntukan perbelanjaan yang besar dilaburkan dalam teknologi sistem satelit. Bagi memastikan inovasi dan pengetahuan sentiasa ke hadapan, tentulah mereka yang mempunyai kepakaran menjadi rebutan. Jurutera terbaik dunia dan saintis cemerlang yang memiliki harta intelek yang tinggi sebenarnya yang menentukan percaturan ekonomi global masa kini, di samping faktor kecanggihan industri ketenteraan. Dalam konteks ini, adakah Malaysia tidak pernah ada genius dalam setiap dekad yang dapat menyaingi teknologi tinggi ini?\nNama-nama besar di dunia seperti Ha-Joon Chang dan Joseph Stiglitz merupakan antara beberapa orang tokoh terkemuka yang memberikan pandangan masing-masing tentang peri pentingnya kerajaan menumpukan fokus terhadap polisi perindustrian dan infrastruktur bagi memajukan negara masing-masing, termasuklah tentang kepentingan pembinaan harta intelek dalam usaha memajukan teknologi dan inovasi.\nAspek Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) yang berkembang di AS pada hari ini hampir kesemuanya hasil daripada pembiayaan oleh kerajaan. Masyarakat kerap menggunakan carian dalam talian menerusi Google yang telah dibangunkan hasil kerjasama dan usaha sama kerajaan negara Uncle Sam itu dengan Stanford University.\nMalaysia juga perlu lebih bijak memahami bahawa faktor penyelidikan atau pembangunan (R&D) itu sendiri sahaja sebenarnya tidak lagi sentiasa dan semestinya menjamin pertambahan keuntungan bagi sesebuah negara. Hal ini demikian kerana mulai tahun 1990, firma gergasi berteknologi tinggi yang bergerak antara negara seperti Transnational Companies (TNC) mencari peluang ke negara yang lebih rendah dari segi kos pengeluarannya seperti China dan India yang juga mampu melahirkan penyelidik berbakat.\nMenurut David Balaam (2018), Amerika Syarikat telah kehilangan peneraju besar teknologinya ke atas China, kerana dinamik teknologi yang terus beralih ke rantau Asia Timur. China dengan sistem ekonomi campuran perancangan pusat dengan kapitalisme dan politik yang autoritarian mempunyai pelbagai kelebihan ekonomi lain disebabkan oleh jumlah penduduk yang tinggi di negara tersebut. Penduduk China yang sekarang ini berjumlah 1.4118 bilion itu sahaja sudah melebihi semua penduduk di negara-negara Amerika Utara dan seluruh negara Eropah. Hal ni membawa pengertian bahawa pasaran dalam negara China sendiri sangat luas dan berpengaruh dalam menentukan ramalan mengenai negara yang mempunyai potensi kekuatan masa hadapan.\u00a0 Secara perbandingan, China tidak seperti AS kerana tidak terlalu bergantung kepada permintaan asing.\nMalaysia juga boleh belajar dengan China dalam menggunakan kekuatan mekanisme kerajaan dan kecekapan perusahaan awam bagi membolehkan sistem tawar-menawar harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran untuk barangan inovatif keluaran negaranya. Kerajaan China boleh meningkatkan permintaan terhadap barangan berteknologi tinggi keluaran negaranya melalui sistem perolehan awam, selain daripada potongan (rebat) cukai kepada pengguna dan peniaga yang menggunakan barangan berteknologi tempatan.\nTidak lagi seperti dahulu, AS tidak lagi boleh mengawal ketat aspek teknologinya sebagaimana yang pernah dilakukan semasa Perang Dingin, dengan adanya kemudahan Internet. Memang benar, semasa era Perang Dingin, AS boleh menyekat penyebaran rahsia melalui pengharaman pengaliran keluar informasi sistem persenjataan dan teknologi nuklearnya, lebih-lebih lagi kepada negara komunis anggota Kesatuan Soviet pada ketika itu. Pada masa yang sama, pengharaman dalam penyebaran informasi teknologi tinggi yang dikuatkuasakan itu meliputi informasi teknikal kepada pelajar-pelajar dan pekerja asing, terutamanya yang datang dari China.\nMalah, pada ketika itu, universiti dan kontraktor swasta diarahkan supaya mendapatkan lesen khas bagi mendapatkan informasi yang disebutkan. Kesemua itu tidak lagi dapat dilakukan dengan mudah pada masa ini. Apabila akses semakin terdedah luas dan persaingan mencipta dan memiliki teknologi yang semakin kompetitif, semua negara terpaksa mengendurkan undang-undang yang ketat kepada warga asing bagi memastikan negaranya dapat bersaing di arena antarabangsa. Hal ini antara lain pernah digambarkan oleh Thomas L. Friedman (2006) dalam karyanya, The World is Flat.\nPerkara ini bukan bermakna tidak ada langkah yang boleh diambil oleh negara maju untuk terus menjadi kuat dan unggul dalam persaingan global pada ketika ini. Sikap berhati-hati AS terhadap China amat ketara semenjak 20 tahun kebelakangan ini. Maka, hal ini merupakan manifestasi bahawa betapa pentingnya bagi mana-mana negara melaksanakan strategi baharu dalam keadaan semakin terbukanya akses itu. Banyak penawaran pembelian syarikat dan kontrak projek di AS yang melibatkan usahawan warga China tidak berasaskan prinsip kunci kira-kira atau balance sheet, tetapi atas perkiraan keselamatan negara dan kepentingan nasional AS.\nDi pihak China juga, dengan mengetahui bahawa data-data yang boleh digodam, China memberikan tekanan kepada pihak bank. Perusahaan milik kerajaan dan negara tertentu yang mempunyai hubungan rapat dengan negaranya menggantikan perisian dan peranti komputer serta pelayan (server) produk buatan China sahaja. Bagi memastikan produk negara yang kompetitif, negara yang terkenal dalam kalangan masyarakat Malaysia dengan legenda Laksamana Cheng Ho dan Puteri Hang Li Po itu juga kompetitif dalam memperkenalkan barangan berkonsep Juara Kebangsaan (National Champion). Sebagai contoh, negara Matahari Terbit, iaitu Jepun mendahului negara Asia dengan pengeluaran Honda dan Toyota.\nKesemua itu dilakukan melalui pelbagai polisi seperti perindustrian dan polisi-polisi lain seperti pelan dagangan strategik bagi meningkatkan dan memastikan gandaan rantaian nilai (value chain) berlipat ganda dan mendapatkan keuntungan melimpah ruah daripada keluaran Juara Kebangsaan itu. Perkara inilah yang disebut oleh Michael Porter dalam bukunya sebagai penentu bahawa betapa kompetitifnya barangan yang dikeluarkan oleh sesebuah negara itu.\nPada tahun 2015, pemerintah negara Naga Tanah Besar itu juga, iaitu Xi Jinping, mahu melonjakkan China sebagai penjana teknologi atau technological powerhouse dalam industri seperti penerbangan, robotik, semikonduktor dan kenderaan elektrik. Kesemua produk inilah yang melahirkan barangan Juara Kebangsaan negara berkenaan dan Lenovo ialah satu daripada jenama terkemukanya.\nMalaysia merupakan sebuah negara yang sedang pesat membangun. Tumpuan kepada kepentingan industri berteknologi tinggi ini perlu menjadi keutamaan bagi polisi dan strategi negara. Tentu sahaja masih terdapat produk terkini yang belum dicipta oleh negara lain dan boleh dieksport dengan kuantiti yang banyak pada harga yang relatifnya masih tinggi dengan faedah daripada monopoli yang bersifat sementara (istilah temporary monopoly ini pernah dipopularkan Joseph Schumpeter). Sesungguhnya Malaysia Boleh !" "Inspirasi KL Tarik Minat dan Cungkil Bakat Anak Muda\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Program Inspirasi KL yang berlangsung di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan suatu medan peminat buku, muzik dan fesyen dalam mendenyutkan nadi bahasa dan kesusasteraan, khususnya dalam kalangan anak muda.\nProgram ini merupakan program kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka dengan ZRA Strim dan rakan kolaborasi yang lain seperti Sunburst Store, Serba Serbi dan Luncai Emas ini diadakan selama tiga hari bermula pada hari ini, iaitu 24 Februari 2023 hingga 26 Februari 2023 dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam.\nYang menariknya, festival perbukuan, muzikal dan fesyen ini diselitkan dengan pelbagai program seperti Resensi Buku Nur di Ufuk Timur di bawah segmen Bicarawara, jualan buku, persembahan muzik \u201cTamasya Anak Muda\u201d, perhimpunan penggemar denim, pameran pakaian vintaj Vivienne Westwood, pameran motosikal dan trak makanan serta banyak lagi.\nMenurut penganjur festival, program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan secara langsung kepada DBP dan pengalaman baharu dalam usaha meneroka kaedah terkini penjualan produk menerusi penstriman; menyediakan ruang kepada DBP dan penerbit bumiputera kecil untuk memasarkan buku dan pakaian secara hibrid bagi menjana pendapatan; dan menyemarakkan semangat buku dalam khalayak peminat fesyen jalanan dan penggemar muzik yang disatukan di bawah satu bumbung." "Antara Bentuk dengan Fungsi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata dalam bahasa Melayu terbahagi kepada empat golongan, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas. Pembahagian kata tersebut pada umumnya sangat jelas, namun ada kalanya timbul kekaburan disebabkan sesuatu kata yang asalnya tergolong dalam kategori tertentu dapat berfungsi juga sebagai kata dalam kategori lain.\nDalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2015: 225 \u2013 234), dikatakan bahawa kata adjektif pada umumnya termasuk dalam sembilan kategori. Hal tersebut sememangnya jelas. Namun demikian, dengan pertembungan dengan budaya lain dan kemajuan masyarakat, kini terdapat kata kerja yang dapat berfungsi seperti kata adjektif dalam konteks tertentu. Dalam hal tersebut, kata kerja tersebut sepatutnya dikategorikan mengikut fungsinya dalam ayat sebagai kata adjektif, bukan menurut bentuk asalnya sebagai kata kerja. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a. Dia sangat berilmu.\n1b. Dia sangat bijak.\n2a. Pengalaman itu sangat menakutkan.\n2b. Pengalaman itu sangat pahit.\n3a. Dia sangat ketakutan.\n3b. Dia sangat takut.\nDalam ayat 1a, kata kerja tak transitif berilmu berfungsi seperti kata adjektif bijak dalam ayat 1b. Dalam ayat 2a, kata kerja transitif menakutkan berfungsi seperti kata adjektif pahit dalam ayat 2b. Malahan, objek dalam ayat 2b boleh digugurkan jika berkaitan dengan kata ganti nama diri orang pertama. Dalam ayat 3a, kata kerja pasif ketakutan berfungsi seperti kata adjektif takut dalam ayat 3b. Selain itu, semua kata kerja berilmu, menakutkan dan ketakutan itu boleh diiringi kata penguat, iaitu sama seperti kata adjektif. Oleh itu, kata-kata tersebut harus kita golongkan sebagai kata adjektif.\nWalau bagaimanapun, tidak semua kata kerja yang dapat diiringi kata penguat berfungsi sebagai kata adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:\n4a. Dia sangat memerlukan bantuan.\n4b. Bantuan sangat diperlukan olehnya.\nDalam ayat 4a, kata memerlukan ialah kata kerja transitif dengan objek bantuan, meskipun kata itu dapat diiringi kata penguat sangat. Dalam ayat 4b, kata diperlukan ialah kata kerja pasif yang dikaitkan dengan objek bantuan dan pelaku -nya. Selain itu, dalam konteks ayat 4a dan 4b, kata memerlukan dan diperlukan tidak boleh diganti dengan kata adjektif secara paradigmatik.\nAda juga kata kerja yang dapat berfungsi seperti kata tugas. Sila lihat contoh yang berikut:\n5a. Mereka berhubung menerusi Internet.\n5b. Mereka berhubung melalui Internet.\n5c. Mereka berhubung dengan Internet.\n6a. Dia bercakap mengenai ekonomi.\n6b. Dia bercakap tentang ekonomi.\n6a. Jarum menerusi kain itu.\n6b. Dia melalui jalan itu.\n6c. Tembakannya mengenai sasaran.\nDalam kelompok ayat 5, kata kerja menerusi dan melalui berfungsi seperti kata sendi nama dengan. Dalam kelompok ayat 6, kata kerja mengenai berfungsi seperti kata sendi nama tentang. Oleh itu, dalam kelompok ayat 5 dan 6, kata menerusi, melalui dan mengenai berfungsi seperti kata sendi nama dan harus kita golongkan sebagai kata sendi nama. Walau bagaimanapun, dalam kelompok ayat 6, kata menerusi, melalui dan mengenai merupakan kata kerja transitif yang diikuti objek masing-masing.\nAda juga kata kerja yang dapat berfungsi sebagai kata pemeri. Sila lihat contoh yang berikut:\n7a. Dia merupakan guru.\n7b. Dia ialah guru.\n7c. Pegawai polis itu merupakan dirinya sebagai tukang sapu.\nDalam ayat 7a, kata kerja merupakan berfungsi seperti kata pemeri ialah dalam ayat 7b, dan harus digolongkan sebagai kata pemeri. Dalam ayat 7c pula, kata merupakan ialah kata kerja transitif dengan objek dirinya.\nPengenalan golongan kata yang betul sangat penting untuk kita menentukan pola ayat dengan tepatnya. Sila lihat contoh yang berikut:\n9a. Dia sangat berilmu. (FN + FA)\n9b. Pengalaman itu sangat menakutkan. (FN + FA)\n9c. Dia sangat ketakutan. (FN + FA)\nPola yang salah: FN + FK\n10a. Hubungan mereka melalui surat. (FN + FS)\n10b. Hubungan mereka menerusi surat. (FN + FS)\n10c. Ceramahnya mengenai ekonomi. (FN + FS)\nPola yang salah: FN + FK\n11. Dia merupakan guru. (FN + FN)\nPola yang salah: FN + FK\nKemungkinan sesuatu kata yang tergolong dalam pelbagai golongan kata bukan sesuatu yang luar biasa. Hal ini bergantung pada konteks penggunaan kata dalam ayat. Sila lihat contoh yang berikut:\n12a. Sungai itu dalam.\n12b. Dalam hal ini, dia tidak bersalah.\n12c. Bukunya di dalam begnya.\n13a. Dia cantik bagai bidadari.\n13b. Dia tercengang bagai rusa masuk ke kampung.\n14a. Hadiah ini untuk ibu.\n14b. Untuk dia lulus memang susah.\n14c. Dia belajar untuk lulus.\nDalam ayat 12a, kata dalam ialah kata adjektif, tetapi dalam ayat 12b, kata dalam ialah kata sendi nama, dan dalam ayat 12c, kata dalam ialah kata arah. Dalam ayat 13a, kata bagai ialah kata sendi nama, tetapi dalam ayat 13b, kata bagai ialah kata hubung keterangan perbandingan. Dalam ayat 14a, kata untuk ialah kata sendi nama, tetapi dalam ayat 14b, kata untuk ialah kata hubung komplemen, dan dalam ayat 14c, kata untuk ialah kata hubung keterangan tujuan.\nOleh sebab berlaku perkembangan secara berterusan dalam masyarakat dan bahasa Melayu, huraian tentang tatabahasa Melayu harus dikemaskinikan supaya dapat memperkasakan keupayaan bahasa Melayu, sesuai dengan perubahan sezaman." "ASEAN Iktiraf Peranan Golongan Muda\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKerjasama ASEAN-India telah bermula semenjak tahun 1990, namun hubungan tersebut tidak lebih daripada sebuah hubungan diplomatik normal. Walaupun negara anggota ASEAN telah mempunyai hubungan diplomatik dengan India, namun hanya hubungan bilateral yang memberikan keuntungan terhadap negara terbabit.\n\nBermula pada tahun 1996, hubungan normal antara ASEAN dengan India telah berubah ke arah kerjasama strategi antara kedua-dua belah pihak kerana terdapatnya tuntutan struktur antarabangsa dan domestik dalam kalangan negara anggota ASEAN dan India. ASEAN dianggap begitu penting bagi India kerana melalui ASEAN, India dapat meneroka peluang yang lebih besar terutamanya dalam bidang ekonomi, manakala bagi ASEAN pula, India merupakan rakan kerjasama strategik bagi bidang ekonomi, strategik, politik dan teknologi.\nSidang Kemuncak Belia ASEAN-India merupakan satu daripada kaedah dalam mewujudkan hubungan dan kebergantungan yang lebih erat antara ASEAN dengan India. Kerjasama ini perlu diperkukuh dan mempunyai kesinambungan agar kerjasama sedia ada ini bersifat lestari dan tidak jumud kepada generasi tertentu. Kerjasama antara ASEAN dengan India ini perlu disuburkan dengan penglibatan belia dalam isu-isu strategik kerjasama ASEAN-India kerana melalui cara ini, belia di ASEAN akan didedahkan dengan dasar-dasar baharu dan sedia ada antara kedua-dua pihak.\nMelalui sidang kemuncak yang diadakan baru-baru ini di Hyderabad, India, para delegasi dari negara anggota ASEAN dan India telah membincangkan pelbagai isu strategik berhubung dengan kepentingan kedua-dua pihak. Sidang Kemuncak Belia ASEAN-India ini bertujuan untuk menyerlahkan lagi hubungan antara ASEAN dengan India agar terus kekal dan mempunyai kesinambungan antara para pemimpin ASEAN dan India pada masa ini dengan kepimpinan ASEAN dan India pada masa hadapan.\nRuang dan peluang telah diberikan dengan seluas-luasnya kepada golongan belia untuk berpartisipasi dalam menentukan pembangunan dan masa hadapan negara serantau. Melalui ASEAN, peranan belia telah diiktiraf dengan mengambil kira pandangan dan aspirasi mereka dalam pembentukan dasar serantau dengan mewakili negara masing-masing, program pembangunan, partisipasi pada peringkat antarabangsa dan kepercayaan terhadap tanggungjawab yang diberikan kepada mereka. Hal ini ditonjolkan melalui sidang kemuncak ini apabila para delegasi belia dari seluruh negara anggota ASEAN dan India begitu kritikal dalam memberikan pandangan, mengutarakan soalan dan mencari penyelesaian terhadap setiap wacana ketika sidang kemuncak ini berlangsung.\nPengukuhan kerjasama ASEAN-India di rantau Indo-Pasifik menjadi tema utama kepada sidang kemuncak pada kali ini dengan memberikan tumpuan terhadap aspek hubungan antara komuniti, perkaitan sejarah dengan budaya, tadbir urus dan politik, kesukarelawanan dan pembangunan kemahiran dan kerjasama serantau melalui etos sepunya.\nPeranan belia ASEAN ini akan lebih signifikan sekiranya para delegasi yang mewakili negara masing-masing mempunyai asas dan latar belakang yang bersesuaian dengan mauduk tema dan wacana yang dibincangkan dalam sidang kemuncak ini. Sudah pasti, untuk mewakili negara dalam sidang kemuncak yang membicarakan tentang isu-isu kontemporari sebegini perlu didasari dengan pemikiran diplomatik dan kefahaman yang luas tentang cabang ilmu dalam aspek hubungan antarabangsa. Maka, belia yang mempunyai latar belakang dalam bidang ini perlu diberikan lebih ruang dan peluang untuk mewakili negara ke persidangan sebegini kerana mereka akan lebih faham akan tema dan wacana yang dibincangkan.\nMenyedari hakikat tersebut, kerjasama ASEAN-India ini mempunyai prospek masa depan yang sangat luas kerana kedua-dua pihak, iaitu ASEAN dan India begitu serius dalam memastikan apa-apa yang telah disepakati ketika Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN-India (SAIFMM) yang diadakan sempena ulang tahun ke-30 hubungan ASEAN-India pada 15-17 Jun 2022 pada tahun lalu yang memfokuskan keamanan, kemajuan dan kemakmuran sejagat dapat direalisasikan dengan jayanya." "Kerjasama dalam Mendepani Cabaran Pendidikan \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u00ad\u00ad\u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada sebanyak 114 orang asnaf terpilih di Masjid Al-Ridzuan, Kg. Behor Masjid dekat Kangar baru-baru ini.\nSebanyak 56 penerima adalah dalam kalangan anak kariah Kg. Behor Masjid manakala 58 lagi penerima ialah dari kariah Kg Tok Kaya. Masing-masing menerima sumbangan daripada MAIPs bernilai RM700 setiap seorang dengan jumlah penuh sebanyak RM79,800 daripada Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs. Dalam majlis tersebut, baginda turut bertitah:\nMasyarakat perlu sedar bahawa agenda pendidikan negara tidak boleh dilaksanakan bersendirian tanpa perlu melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam memastikan pendidikan negara mencapai tahap dan kualiti yang tinggi setanding negara-negara maju yang lain.\nKekuatan kerjasama dalam dan luar sekolah khususnya hubungan erat antara sekolah dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), orang ramai, agensi kerajaan, swasta, korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya dilihat perlu sentiasa dipertingkat.\nOleh sebab pendidikan hari ini berdepan dengan pelbagai cabaran termasuklah globalisasi, fenomena sosial serta aspirasi yang perlu dicapai, maka usaha bersepadu perlu dilakukan demi perubahan pemikiran dan pendekatan, sejajar kehendak dan perubahan pendidikan.\n\u00a0\nDalam majlis tersebut, setiap penerima juga berpeluang membuat pemeriksaan kesihatan sebelum menerima sumbangan sempena program \u201cPerlis Hebat! Rakyat Hidup Sihat\u201d atas inisiatif MAIPs bersama-sama dengan Jabatan Kesihatan Negeri.\nDalam perkembangan yang lain, pada ketika ini juga Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) yang merupakan Pusat Kecemerlangan naungan MAIPs di bawah Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) sedang menjalankan satu \u201cBengkel Hala Tuju\u201d sebagai medium perubahan pemikiran dan kecemerlangan kepada pendidikan di negeri Perlis. Program ini antara lain melibatkan aspek-aspek pembangunan sumber manusia, pendigitalan, penyelidikan & penerbitan, penjenamaan (branding) serta model perniagaan (business model), diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MAIPs dan Pengerusi FcoEE, iaitu Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin. Turut serta ialah mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran." "Kepentingan Nilai Integriti -Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 \u201cIntegriti itu boleh didefinisikan sebagai kejujuran, ketulusan, kesempurnaan dan keutuhan. Hal ini bermaksud integriti ialah sifat jati diri yang merangkumi juga keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruh, boleh dipercayai, dan sebagainya. Dalam erti kata lain, integriti merupakan semua nilai-nilai murni yang perlu ada pada setiap individu mahupun organisasi.\u201d\nDemikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Program Kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi menjejaki dan menyantuni asnaf di sekitar kawasan Kayang baru-baru ini.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra menyerahkan agihan zakat MAIPs kepada tiga buah keluarga asnaf terpilih terdiri daripada Salmah Hassan, 62 tahun; Miss Jehyoh, 63 tahun; dan Sepiah Seman, 81 tahun di rumah masing-masing. Titah Tuanku Raja Muda lagi:\n\u00a0\u201cKita sering kali mengaitkan soal integriti ini dengan rasuah. Penggunaan integriti ini amatlah meluas di mana hal ini merangkumi tatakelakuan yang melibatkan isu-isu nilai, etika dan pegangan agama seseorang. Secara ringkasnya, integriti boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu integriti individu dan integriti organisasi.\u201d\n\u201cIntegriti individu merujuk kepada himpunan kualiti unggul yang wujud dalam kalangan individu dan kualiti ini berteraskan kepada prinsip berpegang teguh kepada kejujuran dan amalan bermoral tinggi. Hal ini bermakna, integriti ialah keselarasan antara tindakan dengan prinsip moral, etika dan undang-undang serta keselarasan di antara kepentingan diri dengan kepentingan umum.\u201d\nTambah baginda, integriti organisasi pula tercermin dalam perumusan dan perlaksanaan kod etika, piagam pelanggan atau sistem dan proses kerja serta pematuhan kepada amalan terbaik. Kod etika berkenaan ditegaskan, diulangi dan dihayati oleh anggota organisasi berkenaan sehinggalah menjadi satu kebiasaan dan akhirnya menjadi budaya organisasi atau \u201ccorporate culture\u201d." "Belanjawan 2023: Sektor Pendidikan Terus Diberikan Keutamaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyambut baik pengumuman Belanjawan 2023 yang menyaksikan sektor pendidikan terus diberikan keutamaan oleh kerajaan. Belanjawan 2023 yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pada 24 Februari 2023, jelas mencerminkan prinsip Malaysia MADANI yang memelihara kesejahteraan rakyat dan negara.\u00a0\nDalam Belanjawan 2023, antara fokus utama untuk KPM adalah meningkatkan taraf pendidikan negara dan memelihara kebajikan para guru serta murid-murid.\nKPM menerima peruntukan tertinggi, iaitu RM55.2 bilion berbanding dengan RM52.6 bilion pada tahun lepas.\nPeruntukan yang diumumkan ini akan dapat memacu komitmen berterusan KPM untuk meningkatkan lagi kualiti infrastruktur sedia ada di sekolah-sekolah.\nKPM menggalas tanggungjawab yang besar dalam memastikan setiap perbelanjaan daripada peruntukan Belanjawan 2023 dapat memberikan impak yang optimum kepada pembangunan pendidikan negara menerusi tujuh teras yang telah digariskan. Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara, Negara Sejahtera." "Potensi Jalinan Kerjasama Perlis-Qatar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan mengadakan pertemuan dengan Ketua Perwakilan Qatar ke Malaysia yang baharu, iaitu Ambasador Salah Mohamed Al-Sorour di ibu negara semalam.\nHadir sama ialah isteri beliau, Asmaa Abdul Rahmab Al-Hail. Salah Mohamed Al- Sorour menerima watikah pelantikan dan Majlis Menghadap daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 21 Februari baru-baru ini.\nTuanku Raja Muda mengucapkan selamat datang serta selamat bertugas di Malaysia kepada Ambasador Salah Mohamed Al- Sorour dan baginda amat berharap agar kerjasama antara Perlis dengan Qatar akan bertambah erat pada masa hadapan khususnya melibatkan hasrat Baladna Food Industries dari negara tersebut untuk melabur dalam industri tenusu di Perlis.\nPada Disember yang lalu, Tuanku Raja Muda berada di Doha, Qatar bagi menyaksikan\u00a0 pertandingan bola sepak Piala Dunia FIFA dan turut meluangkan masa berangkat melawat fasilitet ladang Baladna yang merupakan sebuah daripada syarikat pengeluar produk tenusu terbesar di rantau Asia Barat yang berkeluasan 2.6 juta meter per segi dan mempunyai sebanyak 24 000 ekor lembu tenusu.\nKetika di Doha tempoh hari juga, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra dipersembahmaklumkan oleh Duta Besar Malaysia ke Qatar, Encik Zamshari Shaharan bahawa negara tersebut merupakan sebuah daripada negara yang terkaya di dunia kerana mempunyai hasil minyak dan gas yang banyak walaupun populasi penduduknya yang kecil. Berpandukan pelan pembangunan mampan \u201cQatar National Vision 2030\u201d, Qatar aktif dalam meneroka peluang kerjasama dengan Malaysia terutamanya dalam bidang pendidikan tinggi, modal insan (MTCP), kesihatan, pertanian, bantuan kemanusiaan, perundangan dan pencegahan rasuah.\nTambah Encik Zamshari Shaharan, \u201cMalaysia juga sedang menggiatkan promosi pelancongan, kebudayaan dan kesenian di Qatar dengan mengambil kesempatan sedia ada kerana negara berkenaan merupakan hab transit udara dan menjadi tumpuan dunia melalui penganjuran pelbagai kejohanan sukan antarabangsa seperti FIFA World Cup Qatar 2022, Formula One, the Wimbledon Championships (tenis) dan Golf Masters. Malaysia Airlines juga telah menjalinkan kerjasama dalam bidang penerbangan dengan Qatar Airways yang mempunyai jaluran penerbangan yang luas dan diiktiraf sebagai satu daripada syarikat penerbangan terkemuka dunia\u201d.\nMenurut info dari Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Doha, hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Qatar mula terjalin sejak tahun 1974 lagi. Hubungan ini semakin berkembang setelah tertubuhnya Kedutaan Besar Malaysia di Doha pada Ogos 2004, disusuli dengan pembukaan Kedutaan Besar Qatar di Kuala Lumpur pada September 2004. Hubungan dua hala ini diperkukuh dengan lawatan pada peringkat tertinggi untuk meneroka kerjasama dalam pelbagai bidang." "Universiti Maya dalam Lensa Sejarah dan Teknologi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRevolusi Perindustrian fasa ketiga dan keempat memberikan kesan yang ketara kepada industri khususnya dalam sektor perniagaan dan keusahawanan kerana melibatkan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi yang sangat pesat. Dalam fasa keempat, teknologi digital pula menjadi keperluan bagi industri terterntu, termasuklah dalam bidang pendidikan yang meliputi dari peringkat pengajian pra-sekolah hinggalah ke peringkat pengajian tinggi.\nDalam bidang pendidikan, universiti maya mungkin boleh dianggap sebagai satu teknologi atau sistem pembelajaran yang mendahului zaman. Atas sebab itu, kaedah ini tergolong sebagai satu daripada konsep revolusioner kerana menawarkan kaedah pendidikan yang berbeza daripada pendidikan konvensional. Kaedah ini boleh dilihat dari sudut pendekatan dan kelenturan mengikuti sesi pelajaran. Sungguhpun begitu, kaedah ini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kerana ciri-ciri yang ditawarkannya dikatakan sangat mesra pengguna dan pelajar.\nMaya menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka membawa maksud sesuatu yang kelihatannya ada tetapi sebenarnya tidak ada. Dalam konteks pendidikan, maya merujuk kepada pemisahan antara pelajar dengan guru dari segi kedudukan geografi dan masa. Dari sudut lain, pendidikan maya boleh dikatakan tergolong dalam kategori pendidikan jarak jauh.\nDari segi sejarah, institusi pendidikan yang menawarkan pengajian maya buat kali pertama di dunia ialah Open University, United Kingdom (OUUK) yang ditubuhkan pada tahun 1969. Yang menariknya, universiti tersebut bukanlah beroperasi sebagai universiti swasta, sebaliknya menerima peruntukan dan geran dari pihak kerajaan. Disebabkan statusnya sebagai \u201cmaya\u201d, maka institusi tersebut turut mempunyai bilangan pelajar yang ramai dan dianggap sebagai universiti terbesar di negara tersebut.\nIdea penubuhannya bermula pada tahun 1964, apabila pemimpin Parti Buruh pada masa itu, Harold Wilson (1916 \u2013 1995) menjadikan idea tersebut sebagai ikrar manifesto pilihan raya umum. Apabila Wilson dipilih sebagai Perdana Menteri, beliau menugaskan Menteri Kesenian, Jennie Lee (1904 \u2013 1988), merangka model universiti yang menawarkan pengajian yang setaraf dengan universiti sedia ada pada ketika itu. Pada tahun 1965, sebuah jawatankuasa kerja dan perancangan yang terdiri daripada Naib Canselor universiti, pendidik dan penyiar televisyen telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Sir Peter Venables (1904 \u2013 1979) yang merupakan mantan Naib Canselor Aston University, Birmingham. Penyiar televisyen terlibat dalam jawatankuasa tersebut kerana program pengajaran pada masa itu dirancang untuk disiarkan menerusi televisyen. Antara tokoh penyiaran yang terlibat pada masa itu ialah Penolong Pengarah Kejuruteraan Perbadanan Penyiaran British (BBC) James Redmond, yang telah bertungkus-lumus mengatasi kesukaran teknikal bagi memastikan program pengajaran melalui saluran televisyen dapat berjalan dengan lancar.\nPada tahun 1966, Lee berhasil mengeluarkan kertas putih penubuhan universiti yang memperincikan hal-ehwal perancangan pendidikan khususnya dari sudut kaedah pengajaran dan pembelajaran. Matlamat utama penubuhan universiti yang dikemukakan pada waktu itu adalah untuk memberikan peluang kepada sesiapa sahaja untuk melanjutkan pelajaran tanpa sebarang sekatan atau yang tidak berjaya melanjutkan pelajaran sebelum ini.\nWilson sebenarnya terpengaruh dengan idea-idea tokoh pemikir dalam Parti Buruh, Michael Dunlop Young (1915 \u2013 2002). Young yang terlebih dahulu menubuhkan sebuah kolej bersama-sama dengan ahli sejarah bernama Thomas Peter Ruffell Laslett (1915 \u2013 2001) yang bernaung di bawah Pusat Penasihat Pendidikan. Pengajaran disampaikan dalam siri televisyen berjudul Dawn University yang disiarkan melalui stesen TV Anglia Television. Siri tersebut telah diterbitkan oleh Laslett sendiri. Kolej inilah yang menjadi prototaip kepada OUUK yang ditubuhkan oleh Wilson.\nWilson membayangkan OUUK akan menjadi penanda aras dalam komitmen Parti Buruh untuk memodenkan masyarakat British. Beliau percaya bahawa usaha itu akan membantu kerajaan membina ekonomi yang lebih berdaya saing, di samping menggalakkan kesaksamaan peluang dan mobiliti sosial yang lebih besar. Penglibatan stesen penyiaran merangkumi televisyen dan radio yang berperanan untuk menyiarkan pengajaran juga dilihat Wilson sebagai sekutu utama skim pemodenannya.\nWalau bagaimanapun, Menteri Kesenian, Jennie Lee berhadapan dengan cabaran besar kerana timbul keraguan dan tentangan dari beberapa buah jabatan kerajaan dan tokoh tempatan, antaranya ialah Jabatan Pendidikan dan Sains (DES), Jabatan Perbendaharaan, stesen penyiaran komersil dan rakan-rakan menteri dan pegawai kanan kerajaan, seperti Richard Crossman (1907 \u2013 1974) dan Anthony Crosland (1918 \u2013 1977). Setelah mendapat sokongan dari beberapa pihak antaranya Arnold Goodman (1913 \u2013 1995), seorang penasihat politik yang juga merupakan ahli jawatankuasa penubuhan OUUK, Lee dengan tabahnya terus mempengerusikan jawatankuasa kerja penubuhan. Dalam bulan Mei 1968, Profesor Walter Laing McDonald Perry (1921 \u2013 2003), pensyarah dan ahli Farmalokologi yang berkhidmat di Edinburgh University telah dilantik menjadi Naib Canselor. Sebagai Naib Canselor yang pertama kepada sebuah universiti maya yang pertama di dunia, Perry bertanggungjawab membangunkan rangkaian media pendidikan, iaitu daripada program TV dan radio kepada bahan kursus bercetak dan kit percubaan di rumah; dan membina rangkaian kursus yang berterusan sebagaimana yang terdapat dalam struktur akademik sebenar universiti. Sumbangan terbesar Perry ketika memegang jawatan tersebut ialah berjaya mewujudkan sistem pemindahan kredit akademik apabila menerusi sistem itu, pelajar yang berkelayakan boleh menamatkan pengajian dalam tempoh yang lebih singkat. Akhirnya pada 23 April 1969, OUUK berjaya ditubuhkan setelah menerima Piagam Diraja dari Lembaga Penasihat Diraja Kerajaan, iaitu Majlis Privy. Ketika majlis pemasyhuran universiti dibuat secara rasmi pada 23 Julai 1969, Geoffrey Crowther (1907 \u2013 1972) yang merupakan seorang ahli ekonomi telah dilantik menjadi Canselor OUUK.\nSetelah ditubuhkan secara rasmi, sebuah bangunan yang dikenali sebagai Walton Hall yang terletak di Milton Keynes, London telah dikenal pasti dan ditetapkan menjadi pusat operasi OUUK. Manakala sebuah istana lama yang dikenali sebagai Alexandra Palace telah dikenal pasti untuk dijadikan pusat penyiaran televisyen untuk rancangan pengajaran OUUK. Tarikh akhir yang ditetapkan untuk memulakan kuliah yang pertama adalah pada bulan Januari 1971. Hal ini bermakna, pihak pengurusan universiti hanya mempunyai masa selama 18 bulan untuk menubuhkan pusat pentadbiran dan bahan-bahan yang akan digunakan sebagai modul pengajaran dan pembelajaran.\nOleh sebab para pensyarah dan tutor belum mempunyai pengalaman mengajar secara maya, maka mereka perlu berinovasi ketika menyediakan kesemua bahan yang diperlukan untuk tujuan kuliah. Sebagai contoh, Profesor Michael \u2018Mike\u2019 Pentz (1924 \u2013 1995), ahli akademik yang dilantik menjadi Dekan Fakulti Sains yang pertama di OUUK perlu memikirkan kaedah yang paling sesuai dan efektif kepada pelajar-pelajar fakulti tersebut agar dapat mengikuti pengajian dengan mudah memandangkan mereka tidak perlu hadir ke universiti atau memasuki makmal. Antara kaedah yang diperkenalkannya ialah dengan membangunkan sistem tugasan yang berasaskan tandaan komputer (CMA) dan menyediakan pakej peralatan sains kepada pelajar baharu dalam bentuk kit eksperimen di rumah (HEK).\nSebagaimana yang telah dirancang, pada 3 Januari 1971 kuliah pertama OUUK disiarkan menerusi saluran televisyen BBC2 apabila sesi pengenalan disampaikan oleh Setiausaha OUUK, Anastasios \u2018Chris\u2019 Christodoulou (1932 \u2013 2002). Sebanyak empat kursus telah ditawarkan pada tahun pertama dan kesemua pengajaran telah disampaikan menerusi saluran televisyen, iaitu Asas Matematik, Asas Kemasyarakatan, Asas Kemanusiaan dan Asas Sains. Sambutan terhadap sesi kuliah yang dijalankan sangat menakjubkan dan hasilnya pada tahun 1972, bilangan pelajar yang mengikuti pengajian telah mencecah sebanyak 36 000 orang termasuklah 50 orang pelajar yang mengikuti pengajian pascasiswazah. Pada penghujung tahun 1972, sebanyak 900 orang pelajar telah berjaya menamatkan pengajian dan menjadi kumpulan pertama pelajar yang beroleh ijazah sarjana muda. Mereka berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh dua tahun sahaja kerana mendapat pengecualian kredit dalam beberapa subjek. Majlis konvokesyen yang pertama telah disiarkan secara langsung menerusi saluran BBC2 pada 23 Jun 1973.\nSekitar dekad 1980-an, pelajar dibekalkan dengan pita video yang mengandungi modul pembelajaran. Bahkan pelajar turut digalakkan merakam siaran televisyen agar mudah untuk membuat ulang kaji. Pelajar juga telah mendapat pendedahan penggunaan komputer dan komunikasi atas talian apabila kursus DT200\u00a0Introduction to information technology diperkenalkan. Komputer dilihat sebagai perkakasan yang sangat penting dalam bidang pendidikan setelah Max Bramer menulis satu laporan teknikal yang dikeluarkan oleh CAL Research Group bertajuk Using Computers in Distance Education: the first 10 years of the British OU. Beberapa buah negara mula menunjukkan minat untuk membuka universiti yang berkonsepkan seperti OUUK. Antaranya ialah seperti Belanda, Belgium, Luxemborg, Hong Kong, Iran, Pakistan, Venezuela, Costa Rica, Sri Lanka, India dan Thailand.\nPada tahun 1990-an, modul pengajaran dan pembelajaran disediakan dalam bentuk audio-visual. Bahan-bahan tersebut telah disalin ke format CD dan DVD sebelum dihantar kepada pelajar. Menerusi saluran TV BBC, OUUK meneruskan misi sosial dengan menawarkan kandungan pembelajaran yang boleh ditonton oleh khalayak pada waktu puncak. Walau bagaimanapun, pembelajaran secara dalam talian yang merujuk pada capaian Internet bermula dengan agak lewat, iaitu pada tahun 2000.\nSebaliknya University of Toronto, Kanada, sebuah institusi pengajian tinggi yang menawarkan pengajian secara fizikal lebih awal menawarkan kursus pengajian secara dalam talian, iaitu pada tahun 1986. Tenaga pengajarnya ialah Dr. Linda Harasim dan Dr. Dorothy Smith. Kursus yang diajar menerusi Internet itu ialah Women and Computers in Education yang ditawarkan menerusi program pascasiwazah dalam bidang pendidikan yang dikendalikan oleh Ontario Institute for Studies in Education.\nKanada pada ketika itu begitu aktif membangunkan aplikasi pendidikan atas talian. Sebagai contoh, penyelidik di University of Guelph membangunkan COSy (Computer Conferencing System) manakala di University of Alberta, tenaga pengajarnya berusaha menghubungkan sistem PLATO (Programmed Logic for Automatic Teaching Operations) yang asalnya dibangunkan oleh University of Illinois pada tahun 1960 kepada sistem persidangan MTS (Michigan Terminal System) yang dipanggil Forum. Kira-kira hampir 10 tahun berikutnya pula, iaitu pada tahun 1995, University of British Columbia, Kanada menawarkan kursus atas talian berasaskan web buat kali pertama setelah tenaga pengajarnya, Murray Goldberg berjaya membangunkan sistem pengurusan pembelajaran berasaskan web yang diberi nama WebCT, yang kemudiannya dibeli oleh Blackboard Inc. Pada tahun 2008, George Siemens, Dave Cormier and Stephen Downes dari University of Manitoba merintis pembangunan MOOC (Massively Open Online Courses) yang kini menjadi satu daripada mercu tanda teknologi digital dalam Revolusi Industri fasa keempat khususnya dalam teknologi pendidikan mutakhir.\nPengajian secara maya dalam konteks pendidikan kontemporari mutakhir ini mempunyai kelebihan dan kekurangan yang boleh dirujuk di bawah:" "Membela Hak Kanak-kanak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada 18 Januari lalu, Perdana Menteri, Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Pesuruhjaya Kanak-kanak untuk menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam). Pelantikan serta-merta ini dibuat sebagai usaha menangani masalah penderaan dan masalah sosial yang melibatkan kanak-kanak di negara ini. Menurut Perdana\u00a0Menteri, pelantikan pesuruhjaya\u00a0itu merupakan satu cabang khas yang mempunyai\u00a0autonomi\u00a0di bawah Suhakam.\nPenderaan dan masalah sosial yang terkait dengan kanak-kanak bukanlah isu yang asing di negara ini. Penderaan yang mengakibatkan trauma, kecacatan kekal dan kematian sering berlaku dan dilaporkan oleh akhbar dan media sosial. Meskipun pelakunya berjaya diberkas oleh pihak berkuasa, dihadapkan ke mahkamah dan sudah pun menjalankan hukuman yang setimpal dengan jenayah yang dilakukan, namun penderaan kanak-kanak masih terus dilaporkan seolah-olah kes yang berlaku tidak memberikan pengajaran yang besar jauh sekali dapat menghentikan keganasan terhadap kanak-kanak. Hal itu belum mengambil kira kes yang tidak dilaporkan dan kes lain seperti pengabaian kanak-kanak, sindiket pekerja bawah umur, jenayah yang kanak-kanak, sindiket yang menjadikan kanak-kanak pengemis dan eksploitasi seksual, serta kes lain yang berkaitan.\nSiapakah kanak-kanak? Mengapakah mereka terus menjadi mangsa golongan dewasa? Kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Akta Kanak-kanak 2001.\n\nSementara itu, pengabaian merujuk kegagalan secara berterusan dan serius untuk menyediakan keperluan asas fizikal, emosi dan pembangunan dari segi kesihatan, pendidikan, perkembangan emosi, nutrisi, tempat perlindungan dan kehidupan yang selamat untuk kanak-kanak. Pengabaian boleh mendedahkan kanak-kanak kepada segala bentuk bahaya, termasuk mengancam nyawa mereka.\nPenderaan kanak-kanak merupakan satu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk terus berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka. Penderaan boleh dikategorikan kepada penderaan fizikal, emosi, seksual dan pengabaian.\nPenderaan fizikal menurut Akta Kanak-kanak 2001 berlaku apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi fizikal menyebabkan kecederaan yang boleh dilihat pada mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak itu akibat kekerasan atau penggunaan agen yang disengajakan terhadap tubuh kanak-kanak itu.\nPenderaan emosi\u00a0pula berlaku apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi emosi yang menyebabkan gangguan yang boleh dilihat pada fungsi mental atau emosi kanak-kanak itu seperti kecelaruan mental atau tingkah laku, keresahan, kemurungan, penyendirian dan perkembangan yang lambat.\nPenderaan seksual pula terjadi apabila seseorang kanak-kanak teraniaya dari segi seks jika dia mengambil bahagian, sama ada sebagai peserta atau pemerhati, dalam apa-apa aktiviti yang berunsur seks bagi apa-apa maksud atau eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu seks orang terbabit atau orang lain.\nSementara itu, keganasan merujuk sesuatu tindakan dengan niat untuk menyebabkan sebarang bentuk kecederaan dari segi fizikal dan emosi terhadap kanak-kanak, manakala eksploitasi merujuk pelibatan kanak-kanak dalam aktiviti yang membolehkan pihak lain mendapat faedah dari segi kewangan, seksual, politik serta kepentingan lain yang boleh mengancam kesejahteraan fizikal dan psikologikal mahupun kelangsungan hidup kanak-kanak.\nPENDERAAN KANAK-KANAK, ANGKARA SIAPA? \u00a0\n\u00a0Pada September 2022, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan sebanyak 1055 kes penderaan kanak-kanak direkodkan untuk tempoh Januari hingga Jun 2022. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 578 kes melibatkan penderaan fizikal; penderaan seksual (417 kes); dan penderaan emosi (60 kes). Daripada pecahan itu, sebanyak 706 orang ialah kanak-kanak perempuan dan 349 orang merupakan kanak-kanak lelaki.\nPersoalannya siapakah pihak yang bertanggungjawab dalam kes penderaan dan pengabaian yang dilaporkan? Banyak pihak pastinya menuding jari ke arah pengasuh, ibu angkat atau bapa angkat sebagai pihak pendera. Walau bagaimanapun sangkaan itu tidak 100 peratus tepat kerana daripada statistik yang dikeluarkan oleh JKM, jumlah tertinggi individu yang bertanggungjawab mendera atau mengabaikan kanak-kanak ialah ibu kandung dan bapa kandung kanak-kanak yang terlibat. Pada tahun 2022 (Januari hingga Mei), dilaporkan bahawa sebanyak 536 kes penderaan dan pengabaian dilakukan oleh ibu kandung, diikuti 316 kes oleh bapa kandung. Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding dengan kes penderaan dan pengabaian yang dilakukan oleh ibu angkat (10 kes); bapa angkat (10 kes); dan pengasuh (105 kes).\nMenurut JKM, antara faktor utama yang menyumbang kepada keganasan terhadap kanak-kanak termasuklah kecuaian ibu bapa dan penjaga sama ada secara sengaja atau tidak; faktor kewangan khususnya keluarga yang tinggal di kawasan bandar dengan pendapatan kecil yang menyukarkan ibu bapa membesarkan anak-anak mereka; masalah pengasuh yang tidak menghadiri kursus pengasuhan kanak-kanak menyebabkan mereka tiada pengetahuan dan kemahiran dalam mengendalikan anak kecil; dan kekurangan aktiviti dan pemantauan kanak-kanak yang turut menyumbang kepada penderaan serta pengabaian. Hal ini dikatakan demikian kerana kecuaian dan kemalangan lebih mudah berlaku apabila kanak-kanak tidak disediakan dengan aktiviti perkembangan secara berjadual atau mereka ditinggalkan bersendirian tanpa pemantauan.\nDASAR PERLINDUNGAN KANAK-KANAK NEGARA\nSeperti di negara lain, Malaysia turut memiliki dasar perlindungan untuk melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk pengabaian dan penderaan. Dasar ini \u00a0dikenali sebagai Dasar Perlindungan Kanak-kanak Negara.\u00a0\u00a0Dasar ini adalah selaras dengan falsafah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) dan Akta Kanak-kanak 2001 yang juga menekankan prinsip perlindungan kepada kanak-kanak demi kepentingan terbaik mereka.\nDasar Perlindungan Kanak-kanak merupakan satu dasar yang mengandungi pernyataan mengenai prinsip perlindungan kanak-kanak selaras dengan CRC dan Akta Kanak-kanak 2001. Dasar ini memberikan tumpuan kepada aspek advokasi, pencegahan, khidmat sokongan dan penyelidikan, dan pembangunan bagi melindungi kanak-kanak. Secara khususnya, Dasar Perlindungan Kanak-kanak bertujuan untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi. Dasar ini juga menjadi pemangkin kepada kesedaran dan komitmen semua pihak, termasuk setiap anggota masyarakat dalam melindungi kanak-kanak.\n\u00a0\nAntara objektif yang terkandung dalam dasar ini termasuklah:\u00a0\nPINDAAN SEMULA AKTA \nSelain Dasar Perlindungan Kanak-kanak yang boleh dijadikan garis panduan oleh semua pihak, suara lain yang sering kedengaran adalah tuntutan terhadap kajian dan semakan semula Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, pindaan akta mungkin boleh dilakukan selepas melihat kekurangan atau kelonggaran dalam pelaksanaan akta berkenaan dalam melindungi kanak-kanak.\n\u201cSaya berpandangan bahawa rangka Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 perlu ditambah baik dan kita akan fokuskan untuk membuat beberapa pindaan. Saya berharap sesuatu kes itu boleh diselesaikan dalam masa setahun dan ketika ini ada beberapa kelonggaran yang perlu dikemas kini,\u201d ujarnya pada Januari lalu.\nTambahnya lagi, antara aspek yang perlu dilihat semula termasuklah mewujudkan mahkamah khusus bagi kanak-kanak. Mahkamah itu perlu diberi pembaharuan yang lebih sesuai dan selesa supaya tidak ditakuti oleh kanak-kanak ketika dipanggil memberikan keterangan yang boleh memberikan kesan kepada siasatan atau pendakwaan sesuatu kes.\nAntara negara yang memiliki mahkamah kanak-kanak dan sistem undang-undang yang terbaik dalam menjamin hak kanak-kanak untuk mendapatkan keadilan termasuklah Belgium, Portugal, Spain, Finland, Belanda, Luxembourg, Kenya, Iceland, Latvia, United Kingdom, Argentina, Norway, Brazil, Kanada, New Zealand dan Poland.\nPada hakikatnya, tiada sesiapapun yang dibenarkan untuk menafikan hak kanak-kanak. Maka itu, Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-kanak adalah perjanjian penting oleh negara yang telah berjanji untuk melindungi hak kanak-kanak. Konvensyen ini menerangkan siapa kanak-kanak, hak mereka dan tanggungjawab kerajaan yang tidak boleh diambil daripada kanak-kanak.\nAntara hak kanak-kanak yang digariskan di bawah konvensyen ini termasuklah tiada diskriminasi, iaitu semua kanak-kanak mempunyai semua hak ini, tidak kira siapa mereka, di mana mereka tinggal, bahasa yang mereka tuturkan, agama mereka, apa-apa yang mereka fikir, bagaimana rupa paras mereka, jantina mereka, jika mereka mempunyai kecacatan atau sebaliknya, kaya atau miskin, dan tidak kira siapa ibu, bapa atau keluarga mereka atau apa yang dipercayai atau dilakukan oleh ibu, bapa atau keluarga mereka. Tiada kanak-kanak harus dilayan secara tidak adil atas apa juga sebab!\nSelain itu, kepentingan terbaik kanak-kanak juga perlu diutamakan, iaitu apabila orang dewasa membuat keputusan, mereka harus memikirkan bagaimana keputusan mereka akan mempengaruhi kanak-kanak. Semua orang dewasa harus melakukan yang terbaik untuk kanak-kanak. Kerajaan harus memastikan kanak-kanak dilindungi dan dijaga oleh ibu bapa mereka, atau oleh orang lain. Kerajaan harus memastikan bahawa orang dan tempat yang bertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak wajib menjalankan tugas mereka dengan baik.\nSebagai kesimpulannya, tiada penafian bahawa kanak-kanak merupakan modal insan yang penting kepada negara. Modal insan ini seharusnya dibangunkan pada tahap yang optimum melalui penyediaan persekitaran yang selamat dan kondusif. Sehubungan itu, perlindungan terhadap kanak-kanak daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi adalah satu aspek penting yang harus (wajib) menjadi perhatian semua pihak, tanpa berkecuali.\nKeputusan Perdana Menteri melantik Pesuruhjaya Kanak-kanak untuk menganggotai Suhakam dan cadangan kajian semula Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 sedikit banyak memberikan harapan baharu terhadap usaha yang lebih meyakinkan untuk membela hak kanak-kanak di negara ini. Langkah awal ini juga seharusnya memberikan isyarat yang jelas kepada sesiapa sahaja yang memiliki anak dan berhadapan dengan kanak-kanak agar meletakkan hak kanak-kanak di tempat yang teratas kerana sesiapa sahaja yang ingkar, dengan apa-apa cara sekalipun mereka tidak akan terlepas daripada hukuman yang lebih berat dan setimpal dengan perbuatan jenayah yang mereka lakukan." "DBP Lahirkan Moderator Berwibawa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bermula pada hari ini 27 hingga 28 Februari 2023 bertempat di Akademi DBP telah berlangsung Kursus Keterampilan Moderator yang dibimbing oleh Encik Ahmad Fedtri Yahya, personaliti TV3 yang tidak asing lagi dan Encik Irfan Syahmi Nasution, personaliti televisyen dari Didik TV.\nKursus ini mendedahkan ilmu yang berkaitan persediaan dan serta kaedah yang tepat untuk persiapan diri individu sebagai moderator.\nPerkongsian daripada Encik Ahmad Fedtri Yahya berkaitan dengan insiden atau \u201cmusibah\u201c yang mungkin boleh terjadi kepada moderator telah membuka minda para karyawan yang terlibat dalam kursus ini. Sebanyak 25 jenis musibah yang boleh terjadi kepada moderator ini antaranya termasuklah apabila seorang moderator tiada pengetahuan akan topik atau isu yang akan diperbincangkan. Malah sikap sambil lewa seorang moderator kepada slot atau sesuatu program akan menyebabkan moderator terbabit dilihat seolah-olah tidak cukup persediaan. Selain itu, gangguan yang berkaitan dengan teknikal dan manusiawi juga akan menjejaskan keterampilan moderator. Musibah lain seterusnya menjadi panduan penting kepada peserta kursus ini untuk benar-benar dapat menjiwai tanggungjawab sebagai moderator yang profesional.\nMenurut Puan Sanisah Hashim, Pengurus Projek bagi kursus ini, tidak semua orang berminat dan bersedia untuk menjadi seorang moderator. Sebagai badan ilmu yang berkaliber, karyawan DBP perlu tampil dengan lebih meyakinkan ketika menjadi moderator dalam program-program anjuran DBP. Oleh itu, kursus yang dianjurkan oleh Akademi DBP ini akan memberikan nilai tambah kepada keterampilan keseluruhan karyawan DBP yang menyertai kursus ini.\nBagi Encik Irfan Syahmi (Didik TV) pula, menerusi kursus ini peserta akan dapat menimba pengalaman daripada kalangan penggiat industri ini dan sudah tentu ilmu yang\u00a0 dibekalkan dapat menyerlahkan lagi bakat karyawan DBP dalam bidang ini.\nKursus yang berlangsung selama dua hari ini menerima penyertaan sebanyak 25 orang karyawan DBP dari pelbagai bahagian dan jabatan." "Kualiti Pengangkutan Awam yang Diimpikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nForum Ekonomi Dunia pada Disember 2022 menyenaraikan Hong Kong sebagai bandar raya terbaik di dunia untuk transit awam. Menurut kajian yang dibuat oleh firma perunding Oliver Wyman dan Universiti California, Berkeley, rangkaian\u00a0\u00a0pengangkutan di Hong Kong itu dipuji kerana bukan sahaja kadar (harganya) yang berpatutan, tetapi juga kerana mempunyai jaringan stesen yang menyeluruh dan infrastruktur kereta api yang baik. Meskipun demikian, menurut firma tersebut, masih ada ruang untuk penambahbaikan bagi menjadikan rangkaian pengangkutan di Hong Kong terus berada pada kedudukan yang terbaik. Antara cadangan yang dimaksudkan oleh penyelidik dan pakar yang terlibat termasuklah menggunakan aplikasi telefon pintar untuk membantu pelancong menavigasi bandar dengan lebih baik.\nSelain Hong Kong, turut tersenarai dalam kelompok\u00a0\u00a0negara yang terbaik dan mendapat penilaian tertinggi di dunia termasuklah Zurich yang berada pada kedudukan kedua, diikuti oleh Stockholm, Helsinki, Oslo, Paris, Berlin dan London.\nPerlu diakui bahawa kekuatan sistem pengangkutan awam di bandar memberikan impak yang besar terhadap gaya hidup penduduk di kawasan yang terlibat. Seperti yang dijelaskan dalam laporan itu: \u201cSistem yang dikendalikan dengan cekap bukan sahaja dapat menggalakkan pekerja dan pelancong untuk mengembara melalui bandar, tetapi turut memberikan akses yang terbaik kepada mod mobiliti tambahan, pekerjaan, pusat beli-belah dan banyak lagi.\u201c\nKajian itu turut menganalisis sistem pengangkutan awam di 60 buah bandar utama di seluruh dunia lalu menyusunnya berdasarkan infrastruktur, kesan sosial, daya tarikan pasaran, kecekapan sistem dan inovasi rangkaian. Subindeks Transit Awam menyumbang kepada Indeks Kesediaan Mobiliti Bandar keseluruhan kajian pada tahun 2022. Menurut kajian yang lebih luas, sejumlah sembilan buah bandar di A.S. turut\u00a0\u00a0tersenarai dalam Kesediaan Mobiliti Bandar. Jumlah ini termasuklah San Francisco (kedudukan pertama), New York (ke-11), Chicago (ke-12), Boston (ke-13) Washington D.C. (ke-14), Los Angeles (ke-17), Atlanta (ke-23), Houston (ke-27), dan Dallas (ke-28).\nTernyata banyak yang perlu dipelajari oleh Malaysia dalam membangunkan sistem pengangkutan awam yang benar-benar efisien di negara ini agar setidak-tidaknya kita tidaklah terlalu jauh tertinggal dalam memajukan\u00a0\u00a0sistem terpenting dalam membangunkan negara, iaitu pengangkutan awam kerana majunya sesebuah negara pastinya akan diukur dari segi kemajuan pengangkutan awamnya.\nKita tidak menafikan bahawa kerajaan telah berusaha untuk membangunkan pelbagai infrastruktur pengangkutan awam di negara ini termasuklah pengangkutan bagi sektor darat, udara dan laut. Perlu diakui juga bahawa usaha itu telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara sehingga pada tahun 2018, negara pernah berada pada kedudukan ke-25 daripada 140 buah negara dalam Laporan Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia. Pada tahun berkenaan juga, sebanyak dua buah pelabuhan Malaysia tersenarai dalam 20 pelabuhan terbaik di dunia dari segi isi padu kontena yang dikendalikan \u2013 Pelabuhan Klang pada kedudukan ke-12 dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor pada kedudukan ke-18. Pada tahun 2018, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur disenaraikan pada kedudukan ke-12 terbaik di seluruh dunia dari segi jumlah penumpang antarabangsa, iaitu\u00a0\u00a0sebanyak 43.6 juta orang.\nSelain itu, penggunaan kereta api bagi mengangkut barangan bagi tujuh bulan pertama tahun 2019 turut meningkat sebanyak 200 ribu tan berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2018. Semakin banyak juga rakyat dan pelancong yang memilih perkhidmatan ETS, LRT, MRT dan sebagainya untuk perjalanan penumpang, meskipun perkhidmatan sebegini hanya melibatkan beberapa buah negeri yang menghubungkan antara satu negeri ke negeri yang lain.\nMenyedari akan hal itu, kerajaan dari semasa ke semasa telah mengenal pasti beberapa trend global dan menyesuaikan serta merangkanya melalui Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019-2030 yang dilancarkan pada Oktober 2019. Antara perkara utama yang diberi perhatian dalam DPN termasuklah perkembangan teknologi terkini dan perubahan trend mobiliti rakyat dengan berkembangnya e-dagang. Perkembangan teknologi termasuk e-dagang perlu dimanfaatkan dengan sepenuhnya oleh semua pihak termasuk pemain industri pengangkutan dan usahawan dalam bidang pengangkutan dalam mendapatkan faedah ekonomi yang lebih menyeluruh.\nKerajaan juga turut memberikan perhatian terhadap persediaan negara ke arah \u201cnegara tua\u201d atau ageing population serta kepentingan golongan berkeperluan khas dalam perkara yang berkaitan dengan transformasi sistem pengangkutan awam. \u00a0Maka itu, kemudahan di semua hentian, stesen dan terminal pengangkutan tidak kira pengangkutan darat, udara atau laut \u2013 kesemuanya harus peka dengan trend semasa ini, khususnya pertambahan jumlah penumpang dalam kalangan warga emas. Sehubungan itu, kemudahan di hentian, stesen dan terminal pengangkutan haruslah bersesuaian dengan kemampuan fizikal mereka. Begitu juga dengan kesedaran dalam keperluan menyediakan kemudahan kepada golongan berkeperluan khas seperti orang kurang upaya, penyediaan ruang dan laluan khas di terminal dan di dalam kenderaan pengangkutan awam.\nSelain itu, dalam kita berusaha untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang terbaik dan berkualiti, jumlah pertambahan penduduk dan penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar juga perlu diberikan perhatian oleh kerajaan. Harus diakui bahawa pertambahan penduduk di kawasan bandar memberikan kesan secara langsung kepada peningkatan keperluan kemudahan awam termasuklah pengangkutan awam.\nDiyakini bahawa menerusi DPN, kerajaan akan terus berusaha menambah jumlah perkhidmatan pengangkutan awam termasuklah melalui projek-projek pembinaan perkhidmatan rel dalam bandar bagi memenuhi keperluan penduduk bandar. Apabila berlaku peningkatan kepada keperluan pengangkutan, secara langsung akan memberikan\u00a0\u00a0impak kepada alam sekitar. Kerajaan mengambil sikap untuk memberikan kesedaran kepada rakyat mengenai amalan hijau seperti yang diamalkan di peringkat global. Antara tindakan yang dirancang dalam dasar ini termasuklah mewujudkan garis panduan pembinaan infrastruktur pengangkutan termasuk laluan rel untuk mengawal kesan pembinaan ke atas alam sekitar, serta amalan Transit-Oriented Development atau TOD yang menggalakkan pembangunan di kawasan yang mempunyai kemudahan pengangkutan seperti terminal pengangkutan awam supaya penduduk sekitar mudah untuk sampai ke terminal berkenaan.\nSelain itu, kerajaan juga perlu meningkatkan kebolehcapaian masyarakat ke atas maklumat perkhidmatan pengangkutan awam termasuklah melalui media sosial bagi memudahkan penumpang mendapat jadual terkini perkhidmatan pengangkutan dan seterusnya mengurangkan penggunaan pengangkutan persendirian. Turut diberi perhatian berat oleh kerajaan ialah peningkatan perdagangan melalui laluan laut, dan jangkaan peningkatan berganda penumpang penerbangan dalam kurang daripada dua dekad dari sekarang. Bagi perkara ini, pemain industri khususnya dalam sektor udara dan laut harus memanfaatkan peningkatan permintaan dengan meningkatkan volum perkhidmatan masing-masing bagi memenuhi keperluan semasa yang juga akan memberikan faedah terhadap ekonomi negara.\nKerajaan menerusi DPN akan terus memastikan Malaysia kekal menjadi negara mesra perniagaan, memenuhi keperluan industri, dan mampu bersaing pada peringkat antarabangsa dalam industri pengangkutan. Sebagai contoh, Malaysia sememangnya memilih untuk tidak mengehadkan jumlah kenderaan persendirian. Oleh itu, jalan di dalam dan di luar bandar terpaksa dibina sepanjang masa. Untuk mengurangkan kesesakan akibat pertambahan ini, kerajaan akan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. Hal ini termasuklah membekalkan rel elektrik berkembar. Kajian juga akan dibuat supaya sistem rel yang dimiliki dapat digunakan\u00a0\u00a0sepenuhnya. Maka itu, kerajaan\u00a0\u00a0mengundang pihak swasta untuk melabur serta menyewa landasan yang sedia ada.\nPerkara lain yang turut diberikan perhatian oleh kerajaan ialah kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan pengangkutan awam yang wajar dibudayakan bagi memastikan kemudahan awam di dalam negara sentiasa berada pada tahap yang terbaik. Menurut Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke, perkara tersebut\u00a0\u00a0perlu diterapkan sepanjang masa dan menjadi sebahagian daripada norma kerja pihak berwajib dan bukan hanya mengambil tindakan apabila sesuatu isu berhubung penyelenggaraan dibangkitkan.\n\u201cSaya berharap kita dapat memastikan (sistem) penyelenggaraan yang lebih baik pada setiap masa. Hal ini sudah tentu boleh dilaksanakan jika kita mempunyai program (berterusan) yang memastikan ada audit (dilakukan) pada setiap masa. Saya telah minta Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk menghadiri mesyuarat pasca-Kabinet di Kementerian Pengangkutan selepas ini,\u201d katanya pada sidang media selepas melancarkan Persidangan Usahawan Malaysia-China ke-12 (MCEC 2022).\nBeliau turut menambah, mesyuarat itu juga akan memberikan fokus kepada laporan berkala berhubung dengan operasi kemudahan awam, pelanggan dan penyelenggaraan yang disediakan agensi terbabit pada setiap minggu.\nTernyata DPN 2019-2030 memberikan penekanan kepada inklusiviti dalam penyertaan rakyat mahupun pemain industri dalam aktiviti ekonomi sektor pengangkutan khususnya pengangkutan awam negara. Melalui perancangan strategik, kerjasama, dan komitmen oleh semua pihak termasuk pihak industri dan rakyat, kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan diyakini mampu menyediakan sistem pengangkutan yang mampan yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan seterusnya menjamin kesejahteraan Malaysia yang Madani." "Inflasi Membebankan Rakyat dan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nApabila menyebut tentang inflasi, semestinya kita akan terfikir tentang kemerosotan ekonomi di sesebuah negara. Namun begitu, adakah tepat apa-apa yang difikirkan oleh masyarakat tentang inflasi? Menurut Muhammad Toriq Yaacob (2022) inflasi ialah kenaikan umum harga barangan dan perkhidmatan dari semasa ke semasa. Kemampuan seseorang itu untuk membeli barangan semakin berkurangan atau masyarakat memerlukan wang yang lebih banyak untuk membeli barangan keperluan. Inflasi juga boleh disifatkan sebagai peningkatan harga yang berterusan secara umum. Inflasi ini boleh diukur melalui peratusan kadar peningkatan harga setiap tahun dan merupakan masalah yang bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah turut berlaku di seluruh negara.\nTerdapat beberapa buah negara yang mengalami kadar inflasi yang tinggi seperti Zimbabwe dan German. Peningkatan harga ini disebabkan oleh beberapa perubahan dalam aspek ekonomi yang mengakibatkan kejatuhan nilai kuasa beli wang. Kadar kenaikan ini diukur melalui indikator ekonomi yang dikenali sebagai kadar inflasi. Semakin tinggi kadar inflasi dicatatkan oleh sesebuah negara, maka semakin tinggilah kadar kenaikan harga barangan atau perkhidmatan dalam negara tersebut.\nMalaysia pernah mencatatkan kadar inflasi pada angka yang tinggi, iaitu sebanyak 5.43% pada tahun 2008 dan 5.29% pada tahun 1998. Kadar paling tinggi pernah dicatatkan oleh Malaysia ialah pada tahun 1974, iaitu dengan kadar sebanyak 23.9%. Bagi tahun-tahun lain, Malaysia mencatatkan kadar sekitar 4% hingga 2% sahaja. Selain tahun-tahun yang dicatatkan, Malaysia hanya mengalami inflasi dengan kadarnya adalah negatif atau deflasi. Inflasi berlaku disebabkan oleh beberapa faktor antaranya termasuklah inflasi dalam aspek permintaan dan inflasi dalam aspek pengeluaran barangan. Inflasi dalam aspek permintaan melibatkan faktor terlebih permintaan daripada penawaran barangan dan terlebih bekalan wang berbanding dengan pengeluaran sesuatu barangan. Inflasi dalam aspek pengeluaran barang-barang pula melibatkan faktor masa melambung, kos bertambah dan daya pengeluaran berkurang.\nInflasi dalam aspek permintaan melibatkan faktor terlebih permintaan daripada penawaran barangan akan berlaku apabila permintaan barangan daripada pengguna lebih tinggi tetapi barang-barang yang dikeluarkan tidak bertambah selari dengan permintaan daripada pengguna. Lebihan permintaan akan memberikan tekanan terhadap perkembangan ekonomi. Hal ini akan menyebabkan jumlah wang yang ingin dibelanjakan bertambah dengan cepat melebihi pertambahan barangan dan perkhidmatan yang di tawarkan di pasaran. Apabila permintaan melebihi penawaran, harga barangan akan meningkat dengan lebih cepat dan menjadikan harga barangan menjadi mahal kerana pertambahan permintaan agregat akan menarik harga supaya meningkat tinggi. Perkara ini akan memberikan kesan kepada pengguna untuk membeli barangan dan akan menghasilkan jurang inflasi.\nInflasi yang terjadi akibat faktor terlebih bekalan wang berbanding dengan pengeluaran sesuatu barangan merupakan satu daripada keadaan inflasi yang kritikal kerana memberikan kesan yang teruk kepada ekonomi negara dan masyarakat. Apabila bekalan wang lebih banyak daripada pengeluaran barang, pengusaha atau peniaga akan menaikkan harga barang tersebut kerana penawaran barang yang sangat terhad. Penawaran barang yang terhad menyebabkan rakyat berebut untuk mendapatkannya walaupun harga barang sangat tinggi. Penawaran barang yang terhad menyebabkan berlaku lebihan wang yang terlalu banyak. Apabila lebihan wang berlaku, nilai wang akan merosot dan menyebabkan berlakunya inflasi. Kos yang bertambah dan daya pengeluaran berkurangan juga merupakan santara faktor yang mendorong kepada berlakunya inflasi. Daya pengeluaran berkurang akan menyebabkan produktiviti pekerja juga berkurang. Walau bagaimanapun, gaji pekerja tetap perlu dibayar dengan nilai yang tinggi dengan nilai yang sama semasa daya pengeluaran yang banyak. Untuk mendapatkan keuntungan yang sama seperti sebelumnya, pengusaha juga terpaksa menaikkan harga barang-barang keluarannya. Kenaikan gaji akan menyebabkan harga barang meningkat kerana kos pengeluaran yang bertambah, sekali gus menyebabkan berlakunya inflasi.\nBerikut merupakan jadual yang menunjukkan kadar inflasi di Malaysia dari tahun 2018 hingga tahun 2021.\nBerdasarkan jadual di atas, kadar inflasi di Malaysia mengalami penurunan dan peningkatan kadar inflasi bagi setiap tahun. Kadar inflasi Malaysia bagi tahun 2018 ialah 0.88% dan berlaku penurunan sebanyak 2.99% berbanding dengan tahun 2017. Kadar inflasi pada tahun 2019 juga berlaku penurunan sebanyak 0.22% daripada 2018. Pada tahun 2020 juga berlaku penurunan sebanyak 1.8% daripada 2019 dan kadar inflasi pada tahun 2020 ialah sebanyak -1.14%. Kadar inflasi Malaysia bagi tahun 2021 ialah 2.48% meningkat 3.62% dari tahun 2020.\nInflasi akan memberikan kesan kepada negara. Ekonomi akan merosot dan menyebabkan kejatuhan nilai wang sehingga kos sara hidup masyarakat akan terus meningkat. Antara kesan kesan inflasi ialah kos sara hidup masyarakat akan meningkat. Kadar inflasi yang tinggi akan menaikkan kos sara hidup dan mengurangkan taraf kebajikan masyarakat. Kenaikan tingkat harga umum akan mengurangkan pendapatan benar masyarakat dan seterusnya mengurangkan kuasa beli pengguna. Bagi mereka yang berpendapatan tetap dan penerima pencen, kos sara hidup menjadi semakin tinggi dan ini akan membebankan taraf kebajikan mereka. Bagi masyarakat yang berpendapatan rendah juga akan mendapat tempias dengan kenaikan tingkat harga umum. Pada kebiasaannya inflasi akan menyebabkan harga barangan terus meningkat. Oleh itu masyarakat terpaksa menanggung harga barangan yang mahal.\nAspek pelaburan turut berkurangan semasa inflasi. Apabila berlakunya inflasi, institusi kewangan akan mengenakan kadar faedah yang tinggi terhadap pinjaman yang diberikan kepada pelabur. Keadaan ini akan meninggikan kos pinjaman, mengurangkan pelaburan dan akan menjejaskan perkembangan sektor-sektor yang produktif. Pengeluaran ekonomi semakin berkurangan dan seterusnya menjejaskan pertumbuhan ekonomi. Kesan inflasi yang seterusnya ialah menurunkan nilai mata wang negara. Nilai mata wang menurun akan menyebabkan pengaliran modal jangka pendek ke luar negara. Keadaan ini juga akan memburukkan imbangan pembayaran negara tersebut.\nInflasi terjadi disebabkan oleh beberapa faktor yang tidak ditangani dengan baik. Oleh itu, kerajaan perlulah mengambil inisiatif untuk menangani masalah inflasi daripada semakin teruk dan memberikan kesan kepada masyarakat serta negara. Walaubagaimanapun, Malaysia dianggap sebagai negara yang bijak dan berjaya untuk mengatasi masalah inflasi berbanding dengan negara lain seperti German dan Zimbabwe." "Kolokium Perkamusan Melayu Kupas KDP Terbitan DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Kolokium Perkamusan Melayu: Kamus Dewan Perdana\u00a0Khazanah Unggul Negara pada 27 September 2022 di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Aras 6, Wisma DBP, Kuala Lumpur. Kolokium yang berlangsung selama separuh hari ini diadakan untuk memperkatakan pelbagai aspek dalam kamus terbaharu DBP, iaitu Kamus Dewan Perdana\u00a0(KDP) dari sudut pandang sarjana linguistik.\nDalam kolokium tersebut, Dr. Abang Patdeli Abang Muhi, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP ketika mewakili Ketua Pengarah DBP menyatakan bahawa walaupun tempoh penerbitan kamus ini mengambil masa selama tiga dekad, kamus bahasa Melayu ini dilengkapi dengan pelbagai maklumat dan penyusunannya menerapkan kaedah ilmu leksikografi terkini.\nKamus yang menyimpan khazanah kekayaan kosa kata bahasa Melayu ini juga merakamkan perkembangan kosa kata bahasa Melayu dalam tempoh lebih daripada satu abad dengan jumlah entri melebihi 120 ribu kata akar, termasuklah kata terbitannya.\nTan Sri Syed Danial Syed Ahmad, Ahli Lembaga Pengelola DBP yang diundang menjadi perasmi bagi kolokium ini sungguh berbangga dengan penerbitan KDP kerana DBP berjaya menerbitkan sebuah lagi kamus umum berbahasa Melayu yang dapat mencerminkan perkembangan kosa kata bahasa Melayu selari dengan perkembangan pelbagai bidang ilmu.\nPenyusunan kamus ini juga dapat memenuhi aspirasi negara dalam usaha pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu serta penerbitan, sejajar dengan akta DBP serta dapat melambangkan kedudukan tertinggi bahasa Melayu dalam perlembagaan persekutuan.\nBagi pembentang pertama, Profesor Antarabangsa Tersohor, Profesor Emeritus Dr. James T. Collins, KDP ialah kamus terbaik dalam tempoh 500 tahun yang mampu mengatasi semua kamus yang diterbitkan sebelumnya.\u00a0Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian terhadap kandungan KDP ini, terutamanya dari segi prosedur operasi standard kemasukan etimologi.\nTerdapat kata yang tiada maklumat etimologinya. Selain itu, terdapat kata yang kategori katanya sama ada kata warisan atau kata pinjaman yang bertukar dan sumber kata asal yang tidak tepat.\nPembentang seterusnya, iaitu Dr. Hasmidar Hassan menimbulkan isu tatabahasa yang terdapat dalam KDP. Tatabahasa yang terdapat dalam KDP sepatutnya menggunakan buku panduan tatabahasa yang telah mantap di Malaysia yang menjadi rujukan bagi semua guru dan pelajar di Malaysia. Namun begitu, KDP yang menggunakan data korpus sebagai asas penghasilannya ini memberikan ayat contoh yang menunjukkan penggunaan tatabahasa yang bercanggah daripada rujukan tatabahasa utama di Malaysia, iaitu Tatabahasa Dewan. Hal ini menimbulkan kegusaran dalam kalangan pendidik bahasa di sekolah.\nProfesor Madya Dr. Hishamudin Isam yang sangat berminat menjadikan media sosial sebagai sumber data kajiannya pula menimbulkan isu perubahan penggunaan kata tertentu yang sepatutnya berubah seiring dengan perkembangan teknologi dan gaya hidup masyarakat.\nKepekaan terhadap isu perubahan dan peluasan makna yang seiring dengan zaman moden perlu diberikan perhatian serius dalam KDP. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa entri dalam KDP yang telah ditambah baik dari segi pecahan maknanya yang merupakan suatu perkara yang harus dipuji.\nPembentang keempat, iaitu Profesor Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz memperkatakan sistem ejaan Jawi yang terdapat dalam KDP. Berbanding dengan Kamus Dewan Edisi Keempat (KDE4), KDP mengalami pertambahan huruf Jawi, iaitu ta marbutah yang menjadikan keseluruhan huruf Jawi yang terdapat dalam KDP ini berjumlah 37 huruf. Pembentang ini turut membangkitkan isu penggunaan rujukan Jawi yang masih menggunakan pedoman lama dalam penghasilan KDP ini.\nBagi Datin Dr. Hasnah Mohamad yang merupakan pemakalah terakhir pula membincangkan kebergunaan KDP dari aspek penggunanya. Menurut pemakalah ini, pengguna biasanya merujuk kamus untuk mendapatkan makna satu-satu kata, bukannya untuk mempelajari bahasa, apatah lagi tatabahasa.\nBagi gandingan pemakalah ini yang turut membincangkan isu yang sama, iaitu Dr. Junaini Kasdan, walaupun pengguna kamus lebih memfokuskan makna yang terdapat dalam kamus, masih terdapat pengguna yang menggunakan kamus untuk mendapatkan etimologi, kelas kata dan ejaan. Bagi golongan yang berusia 60 tahun ke atas pula, penggunaan kamus tidak terhad kepada tujuan umum sahaja tetapi turut digunakan untuk melihat penggunaan kata tersebut menerusi ayat contoh yang diberikan.\nPada akhir sesi, penganjur turut memberikan ruang kepada peserta untuk bertanyakan soalan kepada pemakalah. Sesi soal jawab agak hangat apabila terdapat peserta yang kurang bersetuju dengan pandangan pemakalah. Majlis berakhir dengan sesi soal jawab dan sesi bergambar kenangan." "Ancaman Jenayah Penipuan Siber\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTerdapat pelbagai tanggapan bahawa hanya generasi tua tidak mahir tentang teknologi dan lebih mudah ditipu. Namun begitu, The Straits Times melaporkan bahawa generasi muda lebih terdedah kepada aktiviti penipuan berbanding dengan kumpulan umur yang lebih tua. Sejak tahun 2017, rakyat Malaysia telah mengalami kerugian berjumlah kira-kira RM3.3 bilion akibat penipuan jenayah siber.\nJenayah penipuan bukanlah sesuatu perkara baharu, tetapi kaedah penipuan telah berkembang sejak 15 tahun yang lalu dan menjadi semakin berleluasa sejak pandemik COVID-19. Menurut perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 98 607 kes jenayah siber telah dilaporkan antara tahun 2017 dan tahun 2021, dengan penipuan e-dagang (23 011 kes), diikuti oleh penipuan pinjaman haram (21 008) dan penipuan pelaburan (6 273 kes).\nBelia, terutamanya pelajar universiti, dianggap sebagai sasaran yang lebih mudah kerana mereka lebih bersemangat untuk meneroka peluang baharu dan kurang kesabaran untuk menyelidiki sebarang tawaran, termasuklah risiko dan terma dan syarat tawaran. Golongan ini juga lebih cenderung untuk tidak tahu atau kurang mahir tentang cara-cara untuk kekal selamat daripada jenayah penipuan, terutamanya apabila mereka sedang melayari internet. Hal ini menjadikan mereka mangsa jenayah penipuan tanpa disedari.\nBukan itu sahaja, individu dalam kesempitan atau golongan muda yang terdesak untuk mendapatkan wang melalui cara mudah lebih senang terpedaya dan terperangkap sebagai keldai akaun tanpa menyedari akaun mereka terbabit dengan aktiviti penipuan kewangan. Golongan yang berusia antara 20 tahun hingga 40 tahun kerap terjebak dengan sindiket ini atas faktor ketiadaan kerja tetap, terutamanya apabila dijanjikan wang dengan cara mudah. Dalam pada itu, Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan bahawa sebanyak 19 345 aduan membabitkan kerugian sebanyak RM75.4 juta berkaitan dengan jenayah penipuan kewangan telah dilaporkan dalam tempoh 2020 hingga 2021. Penipuan tertinggi yang dicatatkan membabitkan pelaburan internet dan melibatkan kerugian sebanyak RM20 juta, manakala aduan berkaitan dengan penipuan telefon menyebabkan kerugian RM14 juta. Hal ini diikuti dengan kesalahan menyalahgunakan logo pegawai BNM (RM3 juta), dan kerugian sebanyak RM6 juta disebabkan oleh 1500 penipuan pancing data yang telah diterima.\nDalam tempoh dua tahun itu juga, kira-kira 1236 aduan diterima berkaitan dengan penipuan pinjaman bank dengan kerugian sebanyak RM2 juta. Disebabkan kes-kes sebegini, program celik kewangan amatlah penting untuk dilaksanakan terutamanya bagi dimanfaatkan oleh golongan muda kerana belia Malaysia merupakan kumpulan umur yang kritikal dalam memastikan pembangunan negara.\nApakah program celik kewangan dan kepentingannya terhadap golongan belia di Malaysia?\nProgram celik kewangan merupakan satu daripada inisiatif yang diwujudkan untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan pengurusan wang dan laporan kredit. Kebanyakan program sebegini turut memberikan pendedahan berkaitan dengan jenis jenayah kewangan secara dalam talian.\nMenurut tinjauan Jabatan Insolvensi Malaysia, golongan yang berumur kurang daripada 25 tahun dan antara 25 tahun hingga 44 tahun merupakan golongan yang paling banyak disahkan bankrap. Laporan kajian Pantauan Ekonomi Malaysia Disember 2019 yang diterbitkan Bank Dunia menganggarkan sejumlah 60 peratus daripada keseluruhan individu muflis di Malaysia merupakan golongan berkenaan ekoran daripada tabiat berbelanja melebihi pendapatan\n\u00a0\nTabiat berkenaan disifatkan berbahaya kepada golongan muda jika dibiarkan berterusan tanpa pemilikan pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan yang utuh. Keupayaan untuk membuat keputusan kewangan yang bijak merupakan elemen penting dalam kehidupan seharian bagi memastikan kita mampu memenuhi keperluan kewangan semasa dan akan datang. Tambahan pula, rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat perlu dibekalkan dengan pengetahuan kewangan agar mereka mampu menguruskan simpanan dan perbelanjaan dengan saksama, melabur dengan bijak, dan meminjam secara bertanggungjawab sejajar dengan matlamat dan keadaan kewangan masing-masing, termasuklah untuk tujuan persaraan.\n\nDengan itu, People System Consultancy (PSC) mengambil inisiatif dengan melancarkan program risikan kewangan dengan harapan usaha ini dapat membantu dalam mempertingkat status literasi kewangan dalam segenap lapisan masyarakat dan terhadap pewujudan perubahan tabiat dalam jangka masa panjang\nKaji selidik oleh BNM menunjukkan bahawa tahap literasi kewangan rakyat Malaysia pada ketika ini boleh ditambah baik. Institusi tersebut mendedahkan beberapa perkara yang membimbangkan tentang rakyat Malaysia, antaranya termasuklah tahap pengetahuan kewangan, aktiviti simpanan dan belanjawan, kesediaan menghadapi peristiwa yang tidak dijangka dalam kehidupan, dan perancangan untuk persaraan.\nOleh itu, terdapat beberapa pendekatan yang boleh diambil oleh pihak kerajaan, badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian, dan diri sendiri bagi mengukuhkan tahap literasi kewangan dalam masyarakat. Sebagai contoh, pihak kerajaan diseru untuk mengambil inisiatif dalam meningkatkan kerjasama antara sektor kerajaan dengan swasta dalam membina pendekatan mereka terhadap literasi kewangan rakyat Malaysia. Hal ini boleh dilakukan melalui kolaborasi dengan institusi perbankan dan NGO untuk mengadakan program celik kewangan dalam usaha memastikan pelaksanaan pendekatan yang lebih berkesan dan mantap. Terdapat pelbagai program berkaitan dengan celik kewangan diadakan sehingga kini yang telah berjaya meraih perhatian golongan belia, sekali gus membuktikan bahawa usaha sebegini mampu meningkatkan kepekaan dalam berbelanja, selain mendorong mereka untuk lebih cakna dalam aspek sosialisasi kewangan, kemahiran teknologi kewangan, dan kawalan kendiri.\nSelain itu, institusi pengajian tinggi di Malaysia boleh bertindak mengadakan program celik kewangan sekurang-kurangnya setahun sekali. Bagi menarik perhatian dan minat golongan anak muda, pihak penganjur boleh menyelitkan aktiviti pertandingan dan kuiz ataupun memberikan hadiah dan buah tangan kepada peserta. Pihak institusi pengajian tinggi juga boleh menjemput institusi perbankan utama seperti Maybank, CIMB, BSN, RHB dan lain-lain bagi memperkasa inisiatif tersebut sesuai dengan objektif program.\nWalau bagaimanapun, pihak yang harus menunjukkan sikap bertanggungjawab yang paling tinggi dalam menguruskan kewangan ialah diri sendiri. Setiap individu boleh memupuk semangat menyimpan wang dalam tabung ataupun melakukan transaksi pelaburan secara dalam talian yang telah diiktiraf, seperti ASB, Tabung Haji, EPF dan lain-lain.\nSemua pihak harus peka dengan modus operandi jenayah penipuan yang pada kebiasaannya berlaku apabila seseorang itu bersikap tamak, tidak meluangkan masa untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai apa-apa produk kewangan yang ditawarkan, atau terburu-buru mengikut orang lain. Melalui program celik kewangan, para peserta program diseru untuk mengambil langkah berhati-hati apabila berhadapan dengan pelaburan yang memerlukan rekrut, bersifat samar-samar dan tidak telus, ditawarkan oleh entiti yang tidak dikenali atau tidak mempunyai kredibiliti, terlalu bergantung pada reputasi, dan menjanjikan pulangan yang terlalu baik untuk menjadi kenyataan.\nMasyarakat juga akan lebih cenderung untuk mempunyai perancangan kewangan yang kurang mantap sekiranya tidak didedahkan kepada program celik kewangan dengan lebih awal. Tanpa perancangan kewangan yang baik, seseorang individu mungkin terjurus untuk berbelanja melebihi kemampuan dan menampung perbelanjaan dengan menambah jumlah hutang.\nKaji selidik Celik Kewangan Malaysia RinggitPlus 2020 mendedahkan bahawa tabiat kewangan rakyat Malaysia hampir tidak berubah dalam tempoh antara tahun 2019 dan tahun 2020. Hampir separuh daripada responden mengatakan bahawa mereka masih lagi berbelanja mengikut pendapatan yang diperoleh atau lebih, manakala baki responden mendedahkan mereka berkemungkinan tidak mampu bertahan lebih dari tiga bulan dengan menggunakan simpanan sekiranya hilang pekerjaan. Oleh itu, orang ramai haruslah sedar dan berusaha untuk tidak berbelanja secara terburu-buru sehingga menyebabkan diri menjadi papa kedana. Mereka juga tidak perlu mempunyai simpanan menggunung yang tinggi atau sebaliknya untuk melakukan sebarang pelaburan sehingga menyebabkan kehilangan segalanya sekiranya ditipu.\nMenyedari betapa pentingnya perancangan kewangan dan ilmu literasi kewangan, kita hendaklah sentiasa berhati-hati dalam membuat perbelanjaan dan merancang kewangan dengan cermat agar tidak terjerumus dengan hutang dan penipuan. Maka itu, orang ramai disarankan agar mempelbagaikan pegangan aset kerana sesuatu aset itu bersifat dinamik dan nilainya mungkin turun atau naik pada satu-satu masa.\nSelain itu, langkah proaktif seperti pengambilan pelan perlindungan takaful untuk diri dan aset juga disarankan di samping menambah simpanan yang sedia ada. Hal ini mampu memperkukuh jaminan masa depan seseorang untuk menghadapi apa-apa juga kemungkinan yang mungkin berlaku sama ada baik atau buruk kerana perkara sebegini memerlukan aktiviti pengaliran wang keluar masuk. Sedarlah bahawa setiap perubahan dan tindakan bermula daripada kita semua." "Konsep dan Falsafah MADANI dalam Pembangunan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Siri Syarahan Felow Akademi Profesor Malaysia (APM) yang bertajuk \u201cKonsep dan Falsafah Madani: Aplikasinya kepada Pembangunan Negara Malaysia\u201d telah berlangsung pada hari ini secara dalam talian menerusi pelantar Zoom dan laman Youtube. Syarahan pada kali ini disampaikan oleh YBhg. Prof. Emeritus Dato\u2019 Dr. Osman Bakar, Felow Kehormat APM dan Penyandang Kursi Al-Ghazali ISTAC-IIUM.\nDua orang pengulas yang juga merupakan ahli APM telah dijemput untuk membicarakan tajuk syarahan, iaitu YBhg. Prof. Dato\u2019 Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, Mantan Pengerusi Kluster Agama, Falsafah dan Ketamadunan APM, dan YBhg. Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin, Pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya (UM) Felow Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA). Syarahan ini juga dikendalikan oleh Prof. Dato\u2019 Seri Dr. Md Salleh Yaapar, Pengerusi Kluster Agama, Falsafah dan Ketamadunan APM, Universiti Sains Malaysia.\nMenurut YBhg. Prof. Emeritus Dato\u2019 Dr. Osman Bakar, beliau menyatakan bahawa adalah baiknya jika kita melihat dan menilai konsep serta falsafah madani yang dikupas oleh para pemikir Islam dalam zaman klasik terdahulu seperti Al-Farabi dan Ibn Khaldun. Ujarnya,\nKalau kita lihat teori itu sendiri secara keseluruhannya merupakan suatu sumber idea, ideologi, dan falsafah untuk diterjemahkan ke dalam polisi atau dasar pemerintahan. Jadi, suatu yang menarik apabila Perdana Menteri sekarang cuba mengaplikasikan teori madani klasik ini dalam konteks Malaysia.\nMenurut Prof. Dato\u2019 Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan selaku pengulas pertama pula, beliau menjelaskan enam tonggak madani yang terdapat dalam buku Membangun Negara MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, dan ihsan. Untuk penjelasan lebih tepat, beliau menyarankan agar orang ramai, khususnya rakyat Malaysia untuk membaca buku tersebut.\nBeliau turut mengulas contoh \u201cIhsan\u201c yang dijelaskan dalam buku tersebut, iaitu menoktahkan miskin tegar, bantuan penduduk termiskin, e-tunai belia rahmah, sumbangan korporat, bantuan kepada M40, dan kenaikan cukai T20.\nSelanjutnya, pengulas kedua iaitu Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin berkata bahawa 17 matlamat dalam Sustainable Development Goals dilihat sejajar dengan semua cabang pembangunan negara dan berkaitan rapat dengan tonggak madani yang pertama, iaitu kemampanan. Selain itu, beliau menjelaskan bahawa tonggak \u201cIhsan\u201c itu menterjemahkan nilai kasih sayang dan empati.\nUntuk rekod, syarahan kali ini merupakan syarahan kali ketiga daripada Prof. Emeritus Dato\u2019 Dr. Osman Bakar. Syarahan ini juga merupakan salah satu daripada program yang dianjurkan oleh APM selain siri syarahan tamu, siri meja bulat, persidangan APM, forum dan wacana APM. Siri syarahan ini dianjurkan sebagai satu pengiktirafan dan penghargaan APM terhadap kesarjanaan, kebitaraan dan sumbangan cemerlang felow APM dalam bidang ilmu masing-masing.\nSelain itu, siri syarahan ini juga merupakan platform kepada felow APM untuk membincangkan isu-isu strategi yang tidak hanya memanfaatkan pembuat dasar tetapi juga masyarakat secara keseluruhannya." "Puteri Raja Muda Perlis Terima Ijazah Universiti RMIT\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMelbourne, Australia \u2013 Anakanda kedua Raja Muda Perlis, iaitu Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hadir dalam sebuah majlis khas di Universiti Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), Australia pada pagi ini bagi menerima ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengurusan Perniagaan. Menurut kenyataan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, ijazah tersebut disampaikan kepada Sharifah Farah Adriana oleh Dekan Pengurusan Universiti RMIT, Profesor Alison Parkes.\nTurut berangkat bersama-sama Raja Muda Perlis ke majlis tersebut ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil; anakanda puteri sulung, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan anakanda putera bongsu, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail. Menyambut keberangkatan tiba baginda ialah Timbalan Naib Canselor (Pendidikan) merangkap Timbalan Presiden Universiti RMIT, Profesor Sherman Young; Pengarah Strategik dan Impak (Asia), Encik Layton Pike serta Pendaftar Akademik, Puan Connie Merlino. Selain itu, Jeneral Konsul Malaysia di Melbourne, Puan Mazita Marzuki dan Konsul Muda, Encik Mohd Adham Yahaya juga hadir untuk mengiringi baginda sekeluarga.\nSharifah Farah Adriana memulakan pengajian di Universiti RMIT Kampus Melbourne pada tahun 2018 dan berjaya menamatkan pengajian pada Julai 2021. Walau bagaimanapun, majlis graduasi yang sepatutnya diadakan pada tahun yang sama terpaksa ditangguhkan kesan daripada wabak COVID-19 yang melanda dunia. Untuk catatan, Universiti RMIT merupakan antara universiti terkemuka dunia yang menempatkan anggaran 93 ribu penuntut dari seluruh dunia.\nPuteri kedua Raja Muda Perlis ini dilahirkan pada 4 Mac 2001 di Hospital Zollikerberg, Zurich, Switzerland semasa ayahandanya masih berkhidmat sebagai Pengurus Kawasan Malaysia Airlines bagi Switzerland, Austria dan Eropah. Sharifah Farah Adriana mendapat pendidikan awal di The International School of Penang (Uplands), Pulau Pinang pada tahun 2008 hingga 2011, di Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Indera, Kangar, Perlis pada tahun 2011 hingga 2013, dan di Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, Kangar, Perlis pada tahun 2014 hingga 2015 sebelum meneruskan pembelajaran di Prince of Wales Island International School (POWISS), Pulau Pinang pada tahun 2015 hingga 2017. Puteri Raja Muda Perlis ini kemudiannya menyambung pengajian pada peringkat asasi dalam bidang perniagaan pada tahun 2017 sebelum melanjutkan pengajian di Universiti RMIT Kampus Melbourne pada tahun 2018.\nSharifah Farah Adriana mempunyai minat yang tinggi dalam bidang sukan dan pernah mewakili sekolah dalam sukan bola jaring, olahraga, bola keranjang dan bola sepak. Puteri Raja Muda Perlis ini juga merupakan penyokong tegar kelab bola sepak Manchester United dan pernah beraksi dalam kelab bola sepak wanita, Albert Park Women\u2019s Soccer Club dalam liga setempat ketika menuntut di Australia.\nDalam usia yang muda, puteri yang berumur 21 tahun ini juga baru sahaja menamatkan pengajiannya pada peringkat Sarjana dalam bidang Perniagaan Antarabangsa di Universiti Monash, Malaysia pada penghujung tahun 2022 yang lalu. Majlis Istiadat Konvokesyen dirancang untuk diadakan di Subang Jaya pada 18 Mac 2023." "Amalkan Lima Prinsip dan Perkukuh Kerjasama \u2013 Ketua Pengarah DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJohor Bahru \u2013 YBhg. Dr. Hazami bin Jahari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan pertemuan dengan karyawan DBP Wilayah Selatan (DBPWS) pada hari ini. Majlis tersebut merupakan sesi kunjungan pertama beliau ke DBPWS dalam rangka kerja lawatannya selepas dilantik sebagai Ketua Pengarah DBP. Menerusi pertemuan tersebut, YBhg. Dr. Hazami menyampaikan beberapa amanat kepada semua staf DBPWS dalam usaha meningkatkan kualiti kerja dan perkhidmatan untuk kepentingan organisasi.\nDalam ucapannya, beliau berpesan agar karyawan DBP memugar semula semangat bekerja dan sentiasa menjaga integriti yang diamanahkan dalam perjuangan memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan. Beliau turut menegaskan betapa pentingnya setiap karyawan DBP mendahulukan kepentingan organisasi melebihi kepentingan peribadi. Selain itu, berbekalkan lima prinsip \u201cK\u201d, iaitu kepekaan, kesegeraan, ketepatan, ketelusan dan kesempurnaan, beliau percaya bahawa warga kerja DBP dapat membina watak tersendiri yang akan dipandang tinggi oleh masyarakat. Oleh itu, beliau menyeru semua staf DBPWS agar mengamalkan lima prinsip tersebut dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.\nSelain itu, beliau turut melontarkan pandangan bahawa dalam jangka masa yang panjang, Pusat Dokumentasi Melayu di DBPWS sewajarnya diberikan nafas baharu sebagai pusat rujukan persuratan negara bagi mengimbau kembali sejarah penubuhan DBP yang bermula di Bukit Timbalan, Johor Bahru hasil resolusi Kongres Bahasa Kebangsaan III pada tahun 1956. Dalam usaha menjayakan aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan pula, pelibatan kerajaan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat diperlukan. Oleh itu, beliau berharap agar jalinan kerjasama dengan pihak tersebut yang akan terus dilaksanakan oleh DBP akan membuka ruang yang lebih luas kepada masyarakat untuk terlibat secara aktif dalam menjayakan fungsi DBP. Tambah beliau:\nHubungan yang baik dengan NGO perlu ditingkatkan agar masyarakat lebih mengenali peranan DBP sebagai badan yang ditubuhkan untuk memartabatkan bahasa dan persuratan kebangsaan.\nBeliau juga memaklumkan bahawa terdapat perancangan untuk memperluas sempadan DBPWS ke Negeri Sembilan. Walau bagaimanapun, perkara ini masih dalam proses perbincangan dan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat. Oleh hal yang demikian, DBPWS perlu disokong dengan pertambahan sumber manusia bagi memastikan perluasan sempadan ini dapat dijayakan seperti yang diharapkan.\nTurut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Encik Mohd Riduwan Wahab, Pengarah DBPWS." "Lawatan Kerja DBP ke IPGM Cyberjaya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan lawatan kerja ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) pada hari ini dalam rangka kerja menambah baik proses penerbitan buku teks pada masa akan datang. Lawatan kerja tersebut diketuai oleh Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Penerbitan dan turut dihadiri oleh Encik Ruslan Abdull Raffar, Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah DBP; Encik Zukari Ismail, Editor Kanan Bahagian Buku Sekolah DBP; dan beberapa orang staf bahagian tersebut. Ketibaan pihak DBP disambut oleh IPGM Cyberjaya yang diketuai oleh YBrs. Dr. Yazid Abdul Manap, Timbalan Rektor Pusat Pembangunan Latihan dan pegawai-pegawai IPGM.\nMenerusi lawatan kerja tersebut, pelbagai perkara dibincangkan oleh kedua-dua pihak terutamanya berkaitan dengan program kerjasama menerusi penulisan dan penerbitan. Antara cadangan yang dikemukakan ialah penganjuran bengkel penataran buku teks masa hadapan kepada pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara termasuklah di Sabah dan di Sarawak. Bengkel tersebut bertujuan untuk mencari penulis dan penilai buku teks bercetak dan buku teks digital masa hadapan\u00a0 termasuklah buku teks Sejarah, Bahasa Iban, dan Bahasa Kadazandusun.\nMenurut Tuan Haji Razali:\nSempadan fizikal tidak membataskan penulis untuk memberikan sumbangan terhadap pendidikan negara. Untuk menghasilkan buku teks yang baik, guru-guru yang mempunyai pengalaman dan berkemahiran atau penulis baharu dialu-alukan untuk hadir ke bengkel penataran yang akan diadakan bagi mendapatkan maklumat yang jelas tentang penerbitan buku teks. Selain sumbangan sebagai penulis, guru-guru yang berpengalaman juga digalakkan untuk terlibat dalam penilaian buku teks.\nDalam usaha itu, YBrs. Dr. Yazid Abdul Manap, Timbalan Rektor Pusat Pembangunan Latihan IPGM Cyberjaya menyambut baik hasrat DBP dan berusaha untuk melibatkan serta menggalakkan pegawai IPG untuk mengikuti bengkel tersebut. Hal ini demikian kerana keterlibatan pegawai IPG atau guru dalam penulisan buku teks akan memberikan nilai tambah dalam aspek kerjaya mereka. Usaha kolaborasi antara kedua-dua agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia ini juga secara tidak langsung dapat mencungkil bakat dalam kalangan warga\u00a0IPG kampus seluruh Malaysia.\nDalam konteks kerjasama antara DBP dengan IPGM dan IPG, usaha untuk meningkatkan pengkaryaan juga turut dibincangkan. Selaras dengan peranan DBP bagi memperkembang bakat penulisan, DBP bersedia untuk memberikan taklimat penulisan judul am dan penerbitan majalah. Usaha ini sebagai galakan kepada pegawai yang berminat untuk mengembangkan bakat mereka dalam penulisan manuskrip bagi penerbitan buku atau penulisan popular." "Banjir: 431 Calon SPM Terkandas\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Berikutan hujan lebat yang berterusan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa pengendalian peperiksaan SPM tahun 2022 akan dilaksanakan berdasarkan Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan (Operasi Payung) Bil.1/2001.\nMenurut KPM, setakat ini, sebanyak 17 buah pusat peperiksaan di Johor, Pahang dan Sarawak dikenal pasti tidak dapat dibuka disebabkan terputus hubungan dan jalan raya tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan.\nSebanyak 431 calon terkandas dalam banjir dan tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang dijadualkan atau pusat peperiksaan yang berhampiran.\nKPM melalui Lembaga Peperiksaan (LP) sedang mengumpulkan maklumat terperinci mengenai calon yang terlibat dan penjadualan semula peperiksaan SPM tahun 2022 akan dilaksanakan bagi kesemua 431 calon tersebut.\nWalau bagaimanapun, KPM mengulas lebih dalam kenyataan pada hari ini,\nDi Johor dan Pahang, sebanyak 195 calon terkesan dengan banjir, namun berjaya digerakkan ke pusat peperiksaan yang berhampiran dengan bantuan agensi kerajaan untuk menduduki peperiksaan.\nDalam situasi ini, KPM mengingatkan agar semua calon peperiksaan memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera sekiranya terkandas dalam banjir dan tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran.\nCalon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan banjir yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara seperti di lampiran. Penjadualan semula peperiksaan akan dilaksanakan bagi calon berkenaan setelah mendapat pengesahan Pengarah Pendidikan Negeri.\nSusulan daripada itu, KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik dan akan terus memantau situasi banjir sepanjang peperiksaan SPM tahun 2022 berlangsung.\n\u201cKPM juga mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera,\u201d ujar kenyataan itu." "UniMAP dan KUIPs Jalinkan Kerjasama dengan Universiti Melbourne\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMelbourne, Australia \u2013 Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mengadakan pertemuan dengan kepimpinan daripada Royal Melbourne Institute Of Technology (RMIT) University, iaitu Timbalan Naib Canselor RMIT, Profesor Sherman Young, Pengarah Strategik dan Impak bagi Asia, Layton Pike dan Pendaftar Akademik, Connie Merlino, semalam.\nTitah Tuanku Raja Muda dalam siaran media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis pada pagi ini,\nInstitusi pendidikan tinggi akan terus berjaya melahirkan lebih banyak graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik.\nKecemerlangan dalam kokurikulum dan sahsiah diri juga antara elemen yang penting bagi memastikan generasi anak muda terus berkembang untuk membentuk generasi yang bermentaliti kelas pertama dalam segala tindakan yang dilaksanakan.\nTuanku Raja Muda yang juga merangkap Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Canselor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) turut berkenan menyampaikan cenderahati berupa plak bagi pihak UniMAP dan KUIPs dalam majlis tersebut.\nPada masa yang sama, Tuanku Raja Muda juga berharap agar pelbagai bentuk kerjasama boleh dijalinkan antara RMIT University dengan UniMAP dan juga KUIPs pada peringkat antarabangsa." "Dilema antara Kos Sara Hidup dengan Ketidakcukupan Simpanan Persaraan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu dan kos sara hidup yang meningkat, sebilangan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melihat wang caruman mereka sebagai alternatif bagi penyelesaian jangka pendek terhadap masalah tersebut. Oleh itu, kerajaan terus dirayu untuk melihat semula permohonan kemudahan pengeluaran awal wang caruman KWSP bersasar bagi mereka yang masih mempunyai simpanan.\nWalaupun kemudahan pengeluaran awal wang caruman KWSP bukan penyelesaian mampan terhadap masalah kewangan semasa pencarum dalam mengharungi peningkatan kos sara hidup sekarang, namun hal tersebut dilihat sangat diperlukan pada ketika ini bagi sebilangan pencarum, selain dilihat sebagai \u201cpenyelamat segera\u201c bagi mendapatkan tunai secara mudah demi kelangsungan hidup dan melepasi halangan yang ada.\nBaru-baru ini, Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (Prorakyat) menyarankan kerajaan menimbang semula kemudahan pengeluaran awal wang caruman KWSP dari RM10 000 hingga RM30 000 secara sekali gus, yang menurut Presidennya, Khairul Anuar Othman, bertujuan untuk mengelakkan pencarum terputus perbelanjaan tunai kerana jelas beliau, masih ada pencarum yang terkesan oleh tempias pandemik COVID-19. Ada dalam kalangan pencarum pada ketika ini mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman bank yang perlu diselesaikan. Tidak kurang juga pencarum yang kehilangan pekerjaan dan belum memperoleh pekerjaan baharu selepas diberhentikan ketika penularan pandemik itu memuncak sedangkan mereka mempunyai komitmen kewangan yang tinggi. Ada juga dalam kalangan pencarum yang baru memulakan pekerjaan serta memerlukan sumber kewangan dan ada juga yang mahu memulakan perniagaan kecil-kecilan selepas kehilangan pekerjaan.\nKenyataannya, bukan setakat bebanan kos sara hidup yang meningkat yang perlu dihadapi, namun lebih daripada itu. Maka, timbulnya suara-suara di sebalik kewajaran kemudahan pengeluaran awal wang caruman KWSP perlu dibenarkan sekali lagi kerana tekanan kelangsungan kehidupan yang begitu memuncak dan mendesak. Ada yang berpendapat jika kemudahan pengeluaran awal wang caruman KWSP dibenarkan sekali lagi, hanya sebilangan kecil pencarum yang mempunyai simpanan mencukupi akan mendapat manfaat, manakala sebahagian besar pencarum yang benar-benar memerlukan wang tidak akan mendapat manfaat kerana caruman mereka sudah terlalu rendah. Ada pula yang berpendapat sebahagian besar pencarum yang berumur bawah 55 tahun hanya mempunyai baki simpanan persaraan di bawah RM10 000 yang dianggap berada pada paras tenat dan jika kemudahan pengeluaran wang caruman tersebut dibenarkan sekali lagi,apakah yang akan tinggal untuk bekalan mereka menjelang usia emas kelak?\nMenurut data terkini KWSP, jumlah pencarum dengan simpanan bawah RM10 000 masih pada paras 51.5 peratus atau sebanyak 6.67 juta pencarum setakat akhir tahun 2022. Pada ketika ini, jumlah pencarum KWSP bawah usia 55 tahun ialah kira-kira 13.1 juta, sementara jumlah keseluruhan pencarum ialah sebanyak 15.7 juta. Daripada 13.1 juta pencarum yang berusia 55 tahun dan ke bawah, hanya sebilangan kecil, iaitu 2.6 peratus atau 350 000 pencarum mencapai paras kecukupan simpanan, iaitu pada paras ideal. Hal ini bermakna, 97.4 peratus atau 12.75 juta pencarum yang berusia 55 tahun dan ke bawah tidak mempunyai paras simpanan ideal untuk bersara dengan selesa bagi yang tinggal di bandar utama. Persoalannya, aspek manakah yang lebih penting untuk dipertimbangkan, sama ada keperluan kewangan semasa atau keperluan kewangan masa depan? Sama ada dibenarkan ataupun tidak dibenarkan kemudahan pengeluaran wang caruman KWSP sekali lagi, hal ini tetap tidak akan menjanjikan kehidupan persaraan bermaruah kepada sebahagian besar pencarum. Nasib dan masa depan alam persaraan sebahagian besar pencarum masih berada di awang-awangan.\nUntuk rekod, sekiranya kemudahan pengeluaran wang caruman KWSP dibenarkan sekali lagi, keadaan ini akan menjadi pusingan kelima pengeluaran awal KWSP dalam tempoh tiga tahun. Kemudahan pengeluaran sebelum ini di bawah skim i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan pengeluaran khas membabitkan keseluruhannya berjumlah RM145 bilion oleh 8.1 juta pencarum, yang sebahagian besar daripadanya ialah Bumiputera dengan 5.1 juta atau 76 peratus. KWSP mendedahkan, empat pengeluaran awal tersebut, menyebabkan pengurusan dana persaraan itu \u2018terlepas\u2019 peluang untuk mengembangkan aktiviti pelaburannya. Walau bagaimanapun, hal ini masih terkawal dan tidak memberikan kesan ketara terhadap portfolio pelaburan pengurus dana persaraan itu kerana prestasi pelaburan KWSP dan pemberian dividen lebih dipengaruhi oleh perkembangan yang berlaku dalam pasaran global dan domestik dan masih kekal mencabar dan tidak menentu. Jumlah itu hanya mewakili 15 peratus daripada keseluruhan jumlah aset di bawah pengurusan KWSP yang kini mencecah RM1 trilion dan masih dianggap jumlah yang kecil dan tidak menjejaskan prestasi KWSP.\nBagi tahun 2021, KWSP mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.10 peratus untuk Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan sebanyak RM50.45 bilion, sementara sebanyak 5.65 peratus untuk Simpanan Syariah dengan jumlah agihan RM6.27 bilion, menjadikan jumlah agihan terkumpul untuk 2021 sebanyak RM56.72 bilion.\nPada ketika ini, jumlah pencarum KWSP yang aktif adalah sekitar 8.4 juta, iaitu rekod tertinggi dalam sejarah pengurusan dana persaraan itu. Jumlah ahli yang mencarum secara sukarela juga telah meningkat kepada 398 000 pada tahun 2022 berbanding dengan 197 000 sebelum ini. Selain itu, pendaftaran majikan baharu juga telah meningkat sebanyak 30 peratus kepada 94 000 pada tahun 2022 berbanding dengan 72 000 sebelum ini. Oleh itu, mengapakah sukar bagi KWSP untuk membenarkan kemudahan pengeluaran awal kelima sedangkan berjuta pencarum terus melabur dalam dana persaraan itu? Mengapakah ada pihak yang terus mempertikaikan soal pengeluaran saki baki simpanan pencarum sedangkan mereka benar-benar memerlukannya? Pengeluaran itu seharusnya dibenarkan berikutan \u00c2\u00a0membabitkan simpanan milik pencarum sendiri dan mereka sedar tabungan masa depan akan menyusut kesan daripadanya.\nPada masa ini, jumlah pencarum yang terkesan semakin ramai, ada yang diisytiharkan sebagai bankrap dan mengalami kemurungan sehingga menjejaskan kesihatan mental mereka. Hal ini melibatkan usaha untuk meneruskan kelangsungan dalam kehidupan. Sekurang-kurangnya dengan pengeluaran wang caruman tersebut, pencarum dapat bertahan dengan belanjawan yang \u201ccukup-cukup makan\u201c untuk beberapa bulan yang mendatang. Ditambah pula dengan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR), sekali gus menyebabkan tekanan inflasi semakin tinggi kepada pencarum yang terkesan di negara ini. Keadaan itu menyebabkan pencarum semakin sengsara dan menjadi semakin terbeban dengan peningkatan harga barang, kos sara hidup dan komitmen ansuran yang lain.\nBagi pakar ekonomi, golongan paling terkesan dengan langkah kenaikan OPR berkenaan melibatkan golongan yang diberikan moratorium penangguhan pembayaran pinjaman sebelum ini. Kesan itu dirasai apabila mereka terpaksa membayar semula pinjaman dengan nilai lebih tinggi. Dalam erti kata yang lain, bagi individu yang meminjam, hal tersebut meninggalkan kesan kerana menjadikan kos pinjaman semakin tinggi. Maknanya, seseorang itu terpaksa menambah bayaran untuk membayar balik pinjaman. Lebih membimbangkan termasuklah apabila sebanyak 20 peratus kumpulan isi rumah M40 yang mempunyai pendapatan antara RM4850 hingga RM10 959 telah beralih kepada B40, manakala 12.8 peratus golongan T20 yang mempunyai pendapatan RM15 000 ke atas bertukar status kepada M40 disebabkan ketidaktentuan situasi ekonomi sejak tiga tahun kebelakangan ini.\nPada hakikatnya, walaupun kemudahan pengeluaran awal wang caruman KWSP bukan penyelesaian mampan terhadap masalah kewangan semasa pencarum dalam mengharungi peningkatan kos sara hidup sekarang, namun ada yang berjaya membina sesuatu daripadanya sehingga mampu keluar daripada belenggu ketidaktentuan ekonomi ketika ini. Yang jelasnya, kehidupan sebahagian daripada jumlah pencarum semakin terdesak dan sekecil-kecil jumlah wang yang ada daripada bantuan simpanan sendiri yang digelar \u201cangsa bertelur emas\u201c itu amat bernilai tinggi." "Pendidikan yang Baik Mampu Mengubah Kehidupan \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMelbourne \u2013 Melalui inisiatif tanggungjawab Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam agihan ibnu sabil dan pengantarabangsaannya, sumbangan awal Tabung Ibnu Sabil MAIPs berjumlah RM5000 akan disalurkan kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zealand dalam masa terdekat.\nDemikian menurut kenyataan MAIPs yang dititahkan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail kepada Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne, Marzita Marzuki yang akan menjawat jawatan sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand pada minggu ini.\nPemberian sumbangan ini bertujuan membantu rakyat Malaysia yang berhadapan dengan situasi kecemasan, terputus bekalan sara diri atau terkandas untuk kembali ke tempat asal atau meneruskan perjalanan ke suatu tempat yang akan\u00a0disumbangkan kepada pejabat Perwakilan Malaysia terpilih di luar negara.\nBerdasarkan kenyataan tersebut, DYTM Raja Muda Perlis turut bertitah, \u201dPendidikan yang baik pada peringkat yang lebih tinggi mampu mengubah kehidupan seseorang untuk menjadi lebih baik bukan sahaja dalam bidang akademik, malah membentuk minda dan mentaliti kelas pertama dalam segala tindakan yang dilaksanakan.\u201d\nPara pelajar yang telah tamat persekolahan sewajarnya mencari peluang untuk menyambung pelajaran pada peringkat yang lebih tinggi agar dapat mengubah diri dan keluarga untuk berada dalam keadaan yang lebih baik dan selesa, terutamanya dalam mencari pengalaman berdikari dan memberanikan diri mencuba sesuatu yang baharu.\nBaginda dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berangkat ke Melbourne bagi menghadiri majlis graduasi anakanda puteri kedua baginda, Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Farah Adriana Jamalullail yang telah tamat pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Pengurusan) di Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT) University. Pada masa yang sama, baginda berdua turut berangkat ke Hobart, Tasmania yang merupakan kunjungan pertama kali ke sana." "Terus Kekal Bersatu Membina Negara yang Stabil dan Dinamik\u2013 Titah DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Keenam Puluh Enam, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, telah diadakan Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan, bertempat di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, pada pagi ini, iaitu 4 Mac 2023 (Sabtu) bersamaan dengan 11 Syaaban 1444H. Bersempena dengan sambutan tersebut, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan titah kepada para undangan yang hadir. Yang berikut diperturunkan titah baginda.\nBismillahirahmanirahim.\nAssalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.\nDan milik Allah jualah kerajaan langit dan bumi; dan hanya kepada Allah jualah tempat kembali (seluruh makhluk).\n(Surah an-Nur 24: 42)\nDialah Allah Yang Menciptakan sekalian makhluk, Yang Mengadakan (daripada tiada kepada yang ada), Yang Membentuk rupa (makhluk-Nya menurut yang dikehendaki-Nya), bagi-Nya nama-nama yang paling baik dan mulia, segala yang ada di langit dan di bumi bertasbih kepada-Nya dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.\n(Surah al-Hasyr\u00a059: 24)\nMaka, bertasbihlah dengan memuji nama Tuhan-Mu Yang Maha Besar.\n(Surah al-Waqi\u2019ah 56: 74) Demikianlah titah DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dalam majlis tersebut. Semoga titah baginda ini dijadikan pedoman oleh seluruh rakyat Malaysia." "Hiburan atau Cerminan Bahasa?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSecara umumnya, filem boleh membawa maksud sebagai sebuah hiburan yang ditayangkan dan dipertontonkan kepada seluruh masyarakat di rumah melalui kaca televisyen. Menurut Naim Haji Ahmad, filem juga boleh diertikan sebagai hasil garapan pelbagai seni yang memaparkan cerita dan cerminan budaya masyarakat tertentu; pemikiran dan cetusan perasaan pembikinannya; sebuah cerita tentang kehidupan yang tidak terbatas kepada manusia sahaja, sama ada cerita itu benar, khayalan atau cerita yang telah diubah suai atau dipadankan; dan kesatuan bingkai-bingkai yang telah digarapkan secara harmoni menjadi syot, kesatuan syot menjadi jujuk, kesatuan jujuk menjadi babak dan seterusnya kesatuan babak menjadi sebuah teks atau cerita.\nMansor Ahmad Saman pula menyatakan bahawa industri filem Melayu mula menampakkan tanda perkembangan pada tahun 1960-an, walaupun pada peringkat awal filem Melayu itu bukanlah satu industri yang besar dan meluas. Sejarah telah merekodkan bahawa Eadweard Muybridge, seorang jurugambar British telah menemukan konsep imej bergerak dalam sejarah penghasilan filem. Hal ini dijelaskan oleh Muhammad Hatta Tabut yang menyatakan bahawa jurugambar ini berjaya merakam siri kuda yang sedang berlari.\nMalaysia dikatakan telah mengimport lebih 2000 buah filem dari Hollywood, Hong Kong, Indonesia dan negara lain sejak tahun 1970-an. Hal tersebut menyebabkan filem menjadi satu media yang terkenal di Malaysia. Tambahan pula, Malaysia sebuah negara yang memiliki bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu, walaupun rakyatnya terdiri daripada pelbagai etnik. Maka itu, tidak hairanlah apabila Malaysia memiliki kepelbagaian bahasa. Namun begitu, jika bahasa dikaitkan dengan penghasilan filem, apakah peranan para penggiat filem di Malaysia dalam mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan?\nAbdul Aziz Itar dalam artikelnya yang bertajuk, \u201cFilem, Drama, Penyumbang Bahasa Rojak\u201d menyatakan bahawa tanggungjawab untuk memperkasakan bahasa Melayu bukan sahaja dipegang oleh Dewan Bahasa\ndan Pustaka (DBP), bahkan oleh penggiat bidang perfileman dan drama televisyen. Oleh hal yang demikian, sejauh manakah bidang ini mampu menjadi wahana yang berpengaruh dalam menyebarluaskan linguistik bahasa Melayu?\nKemampuan bidang perfileman dalam usaha menjadi wahana untuk mempengaruhi kegiatan memperkasakan bahasa adalah sangat proaktif. Hal ini dikatakan demikian kerana filem dapat mengangkat dan memartabatkan bahasa, budaya dan bangsa di Malaysia. Pengukuhan dari segi linguistik dan sosiolinguistik dapat diaplikasikan melalui pemerkasaan bahasa tersebut.\nPerkara ini berpunca daripada keupayaan sesebuah dialog yang ditulis oleh seseorang penulis skrip dalam menyampaikan idea dan menggunakan bahasa yang betul. Penulisan tersebut akhirnya memukau mata dan perasaan penonton yang menyelami cerita atau filem tersebut sekali gus dapat menusuk jiwa mereka. Tambahan pula, para penonton dapat memahami dan mendalami cerita melalui lakonan watak yang digunakan hingga menyebabkan dialog tersebut tersimpan dalam memori mereka secara automatik.\nPada masa yang sama, dialog dalam filem yang dipertontonkan kepada masyarakat sekali gus turut menguasai pertuturan harian mereka yang menontonnya. Hal ini dapat dibuktikan melalui ajukan dan penggunaan keratan ayat daripada dialog yang dihasilkan oleh masyarakat yang tidak mengira had umur.\nFilem yang menghasilkan cerita menggunakan loghat negeri di Malaysia, antaranya termasuklah loghat Perak, Kelantan, Negeri Sembilan, Sabah, dan sebagainya dapat memberikan pengetahuan kepada penonton tentang kewujudan bahasa (dialek) tersebut. Antara contoh tersebut termasuklah filem Hantu Kak Limah, arahan Mamat Khalid.\nFilem komedi seram Malaysia yang berdurasi 115 minit ini diterbitkan pada tahun 2018, kemudiannya dibintangi oleh penyanyi dan pelakon terkenal, iaitu Datuk Awie, Delimawati, Zul Ariffin, Uqasha Senrose, dan lain-lain. Filem ini berkesinambungan daripada filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010) dan Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit (2013) yang juga diarahkan oleh Mamat Khalid.\nMenurut Amirul Haswendy Ashari, wartawan Harian Metro, penggambaran dan latar cerita filem yang dijalankan di Taiping, Perak, pada Oktober 2017 hingga November 2017 itu menjadi bukti penyebaran meluas linguistik dan sosiolinguistik bahasa Melayu (dialek Perak) kerana telah menerima pelbagai ulasan positif daripada penonton. Selain itu, Zainuri Misfar, iaitu wartawan Berita Harian pula menyatakan bahawa filem itu juga telah mencatatkan sejarah dalam industri perfileman tempatan apabila dilaporkan meraih kutipan lebih daripada RM32.5 juta sejak mula ditayangkan (iaitu ketika penerbitan artikel itu dihasilkan, \u201cHantu Kak Limah Cipta Rekod Kutipan Sukar Ditandingi\u201d pada 28 Ogos 2018.\nMelalui filem ini, para penonton dalam kalangan kanak-kanak dan remaja secara tidak langsung dapat menghafal dan mengajuk sesetengah ayat dalam skrip seperti \u201cKite bako, kite bako\u201d dalam filem tersebut. Hal ini berlaku kerana keunikan bahasa (dialek yang digunakan), sekali gus kehebatan pelakon dalam mencuri hati penonton yang akhirnya berjaya menambat perhatian para penontonnya. Gayatri Su-Lin Pillai dari Infinitus Gold, iaitu penerbit filem Hantu Kak Limah juga berkata, \u201cRamai yang menonton Hantu Kak Limah berulang kali, malahan komedi dalam filem itu sangat universal bahasanya hingga dapat diterima ramai termasuklah dari Singapura dan Brunei\u201d.\nHal ini bertepatan dengan kenyataan Sabri Yunus, iaitu seorang pelakon dan juga pengarah popular, dalam forum yang bertajuk, \u201cBahasa dalam Filem: Kreativiti dan Impak kepada Sosial\u201d di Sarang Art Hub, Tanjung Malim, Perak bersempena dengan acara Santai Bahasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Sarang Art Hub pada 5 April 2018. Menurutnya, unsur dan nilai budaya dalam latar tempat yang dipilih sebagai lokasi cerita perlu diterapkan agar cerita lebih realistik dan logik. Beliau menyatakan bahawa perkara tersebut mampu mengangkat bahasa (dialek) dan budaya setempat, sekali gus memperkenalkan penonton kepada dialek dan budaya yang ditampilkan.\nDalam acara itu juga, Mamat Khalid berpendapat bahawa sesebuah laras bahasa yang digunakan dalam filem adalah berdasarkan dialog yang relevan dengan penceritaan. Menurut beliau lagi, keberkesanan dialog yang \u201cmenjadi\u201d dan memberikan impak kepada masyarakat turut dipengaruhi oleh keberkesanan lontaran vokal dan gaya persembahan pelakon dalam membawa watak dan perwatakan. Beliau turut menyatakan bahawa dialog filem yang paling berkesan hingga ke hari ini ialah dialog yang terdapat dalam filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Hal ini terbukti dengan penerimaan penonton tanpa mengira usia dan kaum masih meminati filem dan lagunya.\nPencampuran kod bahasa dalam filem juga menyebabkan bidang perfileman menjadi wahana penyebaran linguistik bahasa Melayu. Pencampuran kod bahasa boleh didefinisikan sebagai penggunaan atau pengamalan lebih daripada satu bahasa dalam sesebuah pertuturan ketika berkomunikasi. Menurut Hamers dan Blanc, percampuran kod bahasa terbahagi kepada dua bentuk, iaitu inner code mixing (pencampuran kod dalaman) dan outer code mixing (pencampuran kod luaran). Pencampuran kod dalaman ialah percampuran sesebuah dialek dalam pertuturan, manakala percampuran kod luaran ialah percampuran dua jenis bahasa dalam satu pertuturan.\nKewujudan filem yang mencampuradukkan kod bahasa dalam skrip sangat jelas akan menjadi asbab anutan tatabicara kepada para penonton. Sedikit demi sedikit, hal ini akan terbiasa kemudian menjadi kelaziman walaupun dalam situasi atau majlis rasmi yang memerlukan penggunaan bahasa Melayu secara formal. Akibatnya, lidah semakin terbiasa dan petah berbicara dengan mencampurkan kod bahasa dalam pertuturan harian hingga memberikan kesan kepada penutur asal, iaitu kesukaran untuk mencipta ayat bahasa Melayu gramatis, mengingati frasa atau menggunakan satu bahasa sahaja ketika berkomunikasi.\nSelain itu, pencampuran kod luaran dalam sesebuah filem semakin menjadikan penutur menghadapi masalah kecelaruan bahasa. Keperluan membendung masalah ini hendaklah dititikberatkan supaya hal ini tidak menjadi kebiasaan dan realiti dalam kehidupan bermasyarakat.\nKesimpulannya, pengarah sesebuah filem hendaklah menitikberatkan penggunaan dan pengamalan bahasa Melayu yang betul dan sesuai dalam filem. Hal ini juga dapat mengelakkan bahasa kebangsaan dianaktirikan di negara sendiri. Tanggungjawab sebagai seorang penulis skrip juga sangat penting. Penulis hendaklah sentiasa peka dalam menghasilkan karya agar dapat melahirkan generasi muda yang tidak tergolong dalam kalangan marhaen yang buta bahasa Melayu dan tidak memiliki kecelaruan identiti, sekali gus menjadikan pertuturan bahasa Melayu sebagai satu kebiasaan dalam aktiviti harian mereka." "Menjejaki Kata Pinjaman dalam Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBanyak sarjana bahasa pada hari ini cuba mempromosikan slogan \u201cMemartabatkan Bahasa Melayu\u201d. Ya, usaha tersebut harus dipuji dan diperkuat agar bahasa Melayu kembali gah di mata dunia. Namun begitu, timbul satu persoalan dalam diri penulis, adakah memartabatkan bahasa Melayu hanya dengan mengajar tentang salah dan betul penggunaan bahasa semata-mata? Atau adakah cukup dengan cara mengutamakan bahasa Melayu daripada menggunakan bahasa Inggeris semasa berkomunikasi? Sudah tentu matlamatnya lebih daripada itu.\nMemang tidak dinafikan bahawa banyak peranan yang telah dimainkan oleh pelbagai pihak bagi memastikan bahasa Melayu terus mekar di bumi Malaysia. Namun begitu, masih ada ruang yang perlu dipenuhi agar ilmu bahasa Melayu ini terus menyerlah dan berkembang. Sebagai contoh, slogan \u201cMemartabatkan Bahasa Melayu\u201d dapat dianalogikan seperti sepinggan nasi. Lauk-pauk akan menjadi hidangan pelengkap buat nasi. Lauk-pauk itu diibaratkan seperti pelbagai ilmu yang akan memenuhi nasi di dalam pinggan itu. Pastinya lebih enak jika di atas meja ada hidangan lauk-pauk yang banyak. Begitulah juga dengan slogan tersebut yang memerlukan ilmu lain untuk ditambah bagi memperkukuhnya.\nBagi penulis, satu ilmu yang harus disampaikan kepada pengguna bahasa khususnya masyarakat di Malaysia ialah tentang sejarah perkataan yang berkait rapat dengan ilmu etimologi. Slogan untuk memartabatkan bahasa Melayu, yakni \u201cBahasa Jiwa Bangsa\u201d akan menjadi lebih hebat jika ilmu ini disampaikan kepada pengguna bahasa. Menurut Bynon dalam bukunya, Historical Linguistics (1977), etimologi ialah kajian yang berusaha untuk menyusun sejarah bentuk dan makna kata. Menurutnya lagi, sejarah dan semantik perkataan perlu dijejak sepanjang masa hingga mencapai akar atau bahasa sumber pinjaman sekiranya kata yang dikaji itu kata pinjaman.\nBerdasarkan takrifan tersebut, kajian etimologi merupakan kajian yang mendalami sejarah perkataan, bentuk ejaan dan makna perkataan. Seperkara lagi yang perlu ada dalam kajian etimologi ialah waktu kemunculan sesuatu perkataan dalam bahasa Melayu. Hal tersebut penting kerana Collins dalam bukunya yang bertajuk Mukaddimah Ilmu Etimologi (2003), menjelaskan bahawa kajian etimologi memerlukan penelitian terhadap kemunculan sesuatu perkataan buat pertama kalinya.\nDalam bidang etimologi, istilah \u201cpinjam\u201d sering digunakan. Campbell dalam bukunya, Historical Linguistics: An Introduction (2013) menjelaskan bahawa peminjaman merujuk pengambilan perkataan daripada bahasa lain dan menjadikan perkataan itu sebahagian daripada perbendaharaan kata sendiri. Hal ini berbeza daripada takrifan yang diberikan oleh Kamus Dewan Edisi Keempat (2015), iaitu kata pinjam bermaksud memberikan sesuatu untuk kegunaan sementara (dengan janji akan dikembalikan apabila sampai tempohnya). Walaupun maksud kata pinjam itu berbeza daripada konteks penggunaan yang lain, istilah ini terpakai dan diguna dalam perbincangan etimologi. Oleh itu, konsep peminjaman itu sesuai diguna berdasarkan pengertian yang dinyatakan oleh Campbell.\nKata Sabun dalam Bahasa Melayu \nBanyak perkataan yang digunakan dalam bahasa Melayu mempunyai kemiripan dengan bahasa lain di dunia. Persamaan bunyi dan makna sesuatu perkataan dengan bahasa lain pastinya membuatkan pengguna bahasa tertanya-tanya tentang faktor kewujudan persamaan itu. Misalnya, kata \u201csabun\u201d dalam bahasa Melayu bermaksud bahan pencuci pakaian (badan dan lain-lain) yang diperbuat daripada lemak dan soda. Kata \u201csabun\u201d mempunyai kemiripan bentuk dan makna dengan kata \u201csavon\u201d (bahasa Perancis), \u201csapon\u2019e \u201c (bahasa Itali), \u201cjab\u00f3n\u201d (bahasa Sepanyol), \u201cs\u00e2b\u016dn\u201d (bahasa Parsi), \u201cs\u00e2boun\u201d (bahasa Arab), dan \u201csaabun\u201d (bahasa Hindi).\nMungkin ada pengguna bahasa yang beranggapan bahawa sabun dalam bahasa Melayu mirip dengan bahasa Inggeris, iaitu soap yang dipinjam daripadanya. Zahirnya, kata sabun yang wujud dalam bahasa Melayu bukanlah dipinjam daripada bahasa Inggeris tetapi dipinjam daripada bahasa Arab atau mungkin juga daripada bahasa Parsi. Menurut Jones dalam bukunya, Loan-words in Indonesian and Malay (2008), pengaruh Arab dan Parsi dalam bahasa Melayu\u2212Indonesia di Nusantara bermula pada abad ke-14. Oleh itu, kata sabun berkemungkinan masuk ke dalam bahasa Melayu dalam tempoh abad itu atau mungkin juga lewat daripada abad itu.\nBerdasarkan maklumat yang terkandung dalam Online Etymology Dictionary, kata sabun yang wujud dalam pelbagai bahasa itu bermula daripada akar yang satu, iaitu akar Indo-Eropah dengan bentuk ejaannya, seip. Kata \u201cseip\u201d mengalami perubahan apabila masuk ke dalam bahasa Latin dan membentuk kata \u201cs\u00e2p\u00f4\u201d yang seterusnya masuk ke dalam bahasa Greek dan membentuk kata \u201csap\u00f4n\u201d. Seterusnya, kata \u201csap\u00f4n\u201d masuk ke dalam bahasa Arab dan seterusnya bahasa Parsi meminjamnya daripada bahasa Arab. Bagi memudahkan pemahaman jalur atau aliran peminjaman kata \u201csabun\u201d, jalur peminjaman kata sabun dalam bahasa Melayu dapat diperlihatkan seperti yang berikut.\nseip (akar Indo\u2212Eropah) \u2192 s\u00e2p\u00f4 (Latin) \u2192 sap\u00f4n (Greek) \u2192 s\u00e2boun (Arab)\n\u2192 s\u00e2b\u016dn (Parsi) \u2192 sabun (Bahasa Melayu)\nKata Mangga dalam Bahasa Melayu \nMemang menarik untuk dibincangkan tentang cara masyarakat Melayu dahulu meminjam perkataan daripada bahasa Sanskrit. Memang tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Melayu banyak meminjam perkataan daripada bahasa Sanskrit. Hal ini dapat dibuktikan melalui kamus yang dihasilkan oleh Wilkinson yang diterbitkan pada tahun 1901 dan 1902, iaitu A Malay-English Dictionary. Dianggarkan bahawa terdapat 605 perkataan Sanskrit di dalam kamus tersebut.\nSeperti yang kita sedia maklum, Malaysia terkenal dengan buah mangganya, iaitu mangga harum manis. Buah ini sangat terkenal dan sinonim dengan negeri Perlis. Namun begitu, bukan harum manis yang ingin dibicarakan tetapi perihal asal usul kata mangga yang digunakan dalam bahasa Melayu. Tahukah anda, apakah asal usul kata tersebut? Kata \u201cmangga\u201d yang wujud dalam bahasa Melayu dipinjam daripada bahasa Sanskrit, iaitu \u201ckamanga\u201d atau dalam bentuk tulisan Sanskritnya, iaitu \u0915\u093e\u092e\u093e\u0919\u094d\u0917 yang bermaksud sejenis mangga atau pokok mangga.\nYang menariknya, ada dua bentuk variasi ejaan yang lain daripada bahasa Sanskrit itu bagi rujukan yang sama. Dalam bahasa Melayu, wujud kata yang bersinonim dengan kata \u201cmangga\u201d, iaitu kata \u201cmempelam\u201d dan \u201camra\u201d. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kata \u201cmangga\u201d bermaksud sejenis tumbuhan (pokok dan buahnya) mempelam dan maksud yang kedua ialah ibu kunci atau pedal ayam. Untuk perkataan ini, wujud dua makna yang berbeza, iaitu merujuk sejenis buah dan ibu kunci. Sebenarnya, makna asal kata mangga dalam bahasa Sanskrit merujuk buah mangga. Namun begitu, kata itu mengalami perkembangan makna apabila masuk ke dalam bahasa Melayu, yakni mewujudkan makna yang kedua, iaitu ibu kunci.\nSelain itu, wujud satu bentuk kata yang lain bagi merujuk buah yang sama, iaitu kata \u201cmempelam\u201d. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, mempelam membawa maksud sejenis tumbuhan (pokok dan buahnya), iaitu mangga. Jika diteliti makna perkataan ini, wujud dua bentuk ejaan yang berbeza, iaitu mangga dan mempelam tetapi hakikatnya merujuk buah yang sama.\nKata \u201cmempelam\u201d berkemungkinan dipinjam daripada bahasa Sanskrit tetapi mengalami perubahan yang ketara apabila masuk ke dalam bahasa Melayu. Menurut pengkaji, kata \u201cmempelam\u201d mengalami perubahan daripada kata \u201cmahaphala\u201d. Berdasarkan Sanskrit Dictionary for Spoken Sanskrit, mahaphala bermaksud sejenis buah yang besar atau buah jujub/jujube.\nKata \u201cmahaphala\u201d terhasil daripada gabungan dua bentuk kata, yakni kata maha + phala. Kata ini berkemungkinan mengalami perubahan secara beransur-ansur dan seterusnya membentuk kata \u201cmempelam\u201d. Kata \u201cmaha\u201d bermaksud besar dan \u201cphala\u201d bermaksud buah. Kata \u201cmaha\u201d ialah bentuk imbuhan yang sering digunakan dalam bahasa Melayu seperti mahaguru, maharaja, dan maharani.\nSelain itu, wujud juga bentuk kata lain dalam bahasa Sanskrit, iaitu kata \u201camlaphala\u201d yang bermaksud buah mangga. Kata itu juga ialah gabungan dua bentuk kata, iaitu amla + phala. Kata \u201camla\u201d itu bermaksud tamarind tree [Tamarindus indica] atau dalam bahasa Melayu merujuk buah celagi. Perubahan yang berlaku pada makna perkataan ini sudah tentu rumit tetapi menarik untuk dikaji. Perubahan yang ketara juga boleh berlaku kepada kata pinjaman seperti yang berlaku pada kata \u201cmempelam\u201d. Hal ini dikatakan demikian kerana perubahan terjadi disebabkan oleh penyesuaian sesebuah perkataan dalam bahasa masyarakat yang meminjam.\nSekali lagi bahasa Melayu meminjam perkataan daripada bahasa Sanskrit, iaitu kata \u201camra\u201d yang bermaksud sejenis mempelam (rupanya seperti kedondong); kedondong. Jika diteliti, kata \u201camra\u201d dalam Sanskrit Dictionary for Spoken Sanskrit ialah buah mangga atau pokok mangga. Kata itu berkemungkinan telah mengalami pertambahan dari segi makna, yakni satu perkataan yang merujuk dua jenis buah yang berbeza. Berdasarkan perbincangan ini, ketiga-tiga bentuk kata, iaitu kata \u201cmangga\u201d, \u201cmempelam\u201d dan \u201camra\u201d yang wujud dan digunakan dalam bahasa Melayu dipinjam daripada bahasa Sanskrit.\nPengaruh yang kuat daripada masyarakat India juga menyebabkan ketiga-tiga kata ini masuk ke dalam bahasa Melayu dan membentuk kata yang bersinonim. Menurut Bally dalam artikelnya yang bertajuk Mangifera indica (Mango) pada tahun 2006, buah mangga berasal dari India dan Myanmar. Hal ini bertepatan dengan catatan yang terkandung dalam Online Etymology Dictionary, yang menyatakan bahawa buah mangga ditanam secara meluas di India dan di negara tropika lain. Oleh itu, tidak hairanlah jika kata \u201cmangga\u201d ini masuk ke dalam bahasa Melayu melalui masyarakat India.\nJika diteliti semula tentang sejarah, hubungan perdagangan antara masyarakat India dengan Alam Melayu bermula sejak abad ke-15 Masihi dan kedatangan pedagang India ke Nusantara telah bermula sejak zaman Sebelum Masihi lagi. Oleh itu, perdagangan yang wujud antara Alam Melayu dengan India memungkinkan buah ini dibawa masuk dan seterusnya ditanam di Tanah Melayu. Oleh itu, aliran peminjaman kata \u201cmangga\u201d dan \u201cmempelam\u201d ke dalam bahasa Melayu dapat dilihat seperti yang berikut.\nkamanga (Sanskrit) \u2192 mangga (Bahasa Melayu)\nMahaphala (Sanskrit) \u2192mempelam (Bahasa Melayu)\nOleh itu, berdasarkan perbincangan tentang kata \u201csabun\u201d dan \u201cmangga\u201d, kedua-duanya ialah perkataan pinjaman daripada bahasa asing. Kita mungkin tidak menyedari akan hal ini kerana perkataan tersebut telah sebati dalam bahasa Melayu. Dalam kajian etimologi, penelitian kata perlu diberi tumpuan kepada kata yang bersinonim. Penelitian ini akan memperlihatkan wujudnya variasi bagi sesebuah kata yang dipinjam daripada bahasa asing.\nMaklumat tentang asal usul perkataan juga harus diketengahkan supaya kita dapat mengetahui tentang bahasa Melayu yang ada meminjam perkataan daripada bahasa lain di dunia. Peminjaman perkataan daripada bahasa asing bukanlah sesuatu hal yang merendahkan martabat bahasa Melayu tetapi dapat bertindak meneruskan hayat serta memperkembangkan bahasa Melayu supaya terus mekar dan tidak pudar di bumi Melayu.\nBerkemungkinan juga akan ada suara-suara yang menyatakan rasa tidak setuju tentang penyampaian ilmu ini kepada masyarakat umum. Mungkin ada yang berpandangan bahawa ilmu etimologi seharusnya dibincangkan dalam kalangan ahli akademik sahaja. Namun begitu, perlu diingati bahawa kajian berkaitan dengan bahasa Melayu yang dibuat oleh para sarjana bahasa Melayu pada zaman dahulu dan kini tidak lain hanya untuk memartabatkan bahasa Melayu.\nBegitu juga halnya dengan cinta akan bahasa. Seseorang itu hendaklah memahami tentang bahasa yang dituturkannya yang merangkumi beberapa tanggungjawab, iaitu menghormati, menjaga dan memahami bahasa Melayu dengan baik. Apabila perkara itu ada dalam diri pengguna bahasa, maka dapat dikatakan bahawa slogan \u201cBahasa Jiwa Bangsa\u201d itu tercapai.\nSecara keseluruhannya, ilmu etimologi perlu disampaikan kepada masyarakat melalui penerangan yang mudah. Perkembangan teknologi pada hari ini juga telah mendorong masyarakat berkomunikasi secara bebas dengan masyarakat luar negara menggunakan bahasa Melayu. Oleh itu, mungkin ada segelintir pengguna bahasa yang menyedari bahawa wujud perkataan yang mirip dengan bahasa lain. Kemiripan ini sudah tentulah akan menimbulkan kekeliruan, yakni sama ada kata yang dianggap mirip itu dipinjam daripada bahasa lain atau bahasa lain meminjam daripada bahasa Melayu. Oleh itu, maklumat tentang etimologi ini perlu didedahkan agar dapat melahirkan masyarakat yang berilmu dan mengetahui tentang asal usul perkataan yang digunakan dalam bahasa Melayu. Yang penting, penjelasan yang akan diberi oleh pencinta bahasa itu perlulah bersesuaian agar pengguna bahasa mudah untuk memahaminya." "SPKM 2022 Tonjolkan Penyelidikan Korpus Terkini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBANGI \u2013 Bertempat di Hotel Bangi-Resort, Simposium Penyelidikan Korpus Malaysia (SPKM) 2022 meneruskan penganjurannya pada kali keenam pada tahun ini untuk menonjolkan penyelidikan korpus terkini. Dalam penganjurannya pada kali ini, Pusat Kajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selaku penganjur utama dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku penganjur bersama bekerjasama dengan Gale Cengage dan Malaysian Corpus Research Network.\nSimposium yang diadakan selama dua hari bermula pada 28 September 2022 ini berjaya menghimpunkan pakar, pengamal, penyelidik, penulis dan pelajar pascasiswazah yang terlibat dalam penyelidikan bahasa, sains dan teknologi serta bidang lain yang berkaitan dari dalam dan luar negara untuk berbincang tentang perkembangan perkorpusan. Sebanyak 22 pembentangan dan satu ucap utama, selain satu forum yang melibatkan empat ahli panel berlangsung dalam simposium ini.\nDalam ucapan perasmian oleh Profesor Madya Dr. Emma Mirza Wati Mohamad, Timbalan Dekan FSSK UKM, simposium penyelidikan pada tahun ini dengan tema \u201cPenerokaan/Penerapan Linguistik Korpus untuk Kemanusiaan Digital\u201c memberikan tumpuan terhadap penyelidikan mengenai kemanusiaan digital dan sains data dalam pelbagai bidang, terutamanya bidang Linguistik Korpus.\nSarjana tersohor dalam bidang Linguistik Korpus bersetuju bahawa peranan penyelidikan korpus serta aplikasi korpus dalam era digital semakin menonjol. Segala kegiatan masyarakat, sama ada ilmiah, sosial, politik, kerohanian, ekonomi, kekeluargaan, kesihatan yang melibatkan penggunaan bahasa dan komunikasi akan wujud dalam bentuk digital yang seterusnya boleh dikumpulkan menjadi korpus untuk penyelidikan.\nSimposium ini juga diadakan untuk menghimpunkan ahli akademik, serta penyelidik tempatan dan Nusantara dalam bidang Linguistik Korpus dan Kemanusiaan Digital. Selain itu, SPKM 2022 turut memberikan tumpuan terhadap isu yang timbul daripada penyelidikan terkini dalam bidang Linguistik Korpus dan Kemanusiaan Digital. Menerusi SPKM 2022 ini juga, peserta dapat berkongsi pengalaman dalam penyelidikan terkini dan dapatan kajian menerusi interaksi dan penerbitan akademik.\nDr. Azizul Ismail yang menjadi pembentang pertama berkongsi kepentingan kajian korpus yang berupaya digunakan sebagai peramal kecenderungan pengundi sebelum satu-satu pilihan raya diadakan. Hal ini berlaku menerusi analisis korpus terhadap bahasa tidak santun yang digunakan dalam penulisan blog politik.\nBagi Dr. Anis Che Abdul Rahman, kajian yang menggunakan korpus mampu membantu analisis prosodi semantik terhadap sesuatu perkara. Sebagai contohnya, kajian terhadap imej wanita mendapati bahawa wujudnya prosodi semantik yang bersifat positif.\nSeterusnya, Dr. Nor Fariza Mohd Nor dalam sidang plenonya membuktikan peranan korpus yang membantu mengaitkan pandangan orang awam terhadap tindakan kerajaan dalam isu perubahan iklim. Sebagai hasilnya, Dr. Nor Fariza berjaya menunjukkan bahawa orang awam mengambil berat terhadap perubahan iklim.\nSimposium yang sangat bermanfaat kepada ahli penyelidik ini berjaya menarik perhatian peserta sehingga akhir pembentangan walaupun membincangkan aspek yang agak teknikal dalam dunia penyelidikan yang menggunakan korpus." "Berusaha dan Bekerja Kuat Mampu Membuka Peluang untuk Terus Berjaya \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Masyarakat diajak untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dengan perkembangan dan pembangunan semasa. Masyarakat juga perlulah menggandakan usaha kerana hanya dengan berusaha dan bekerja kuat sahaja kita akan mempunyai peluang yang lebih untuk berjaya dalam hidup.\nDemikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semasa berkenan berangkat menyampaikan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 138 orang asnaf terpilih di Kangar. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 70 orang penerima adalah dalam kalangan anak kariah Kg. Titi Tok Bandar, manakala 68 orang penerima lagi dari kariah Seriab. Setiap asnaf menerima sumbangan sebanyak RM700 daripada MAIPs dengan jumlah penuh sumbangan pada kali ini adalah sebanyak RM96 600. Sumbangan ini telah disampaikan dalam program yang diadakan di Masjid Ar-Rahim, Kampung Titi Tok Bandar.\n\u00a0\nSemasa sumbangan zakat tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mengaitkan kehidupan masyarakat dengan perkembangan teknologi terkini yang melingkari kehidupan mereka. Tambah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail:\nKini, teknologi digital, alat komunikasi canggih dan media sosial seolah-olah menjadi suatu kemestian bagi kehidupan seharian kita. Setiap perkara ada baik dan buruknya. Sebaik-baiknya kemudahan teknologi ini dapat digunakan untuk kebaikan diri, keluarga dan masyarakat, sama ada dari segi ekonomi, sosial dan juga politik.\nSehubungan dengan itu, Tuanku Raja Muda Perlis menyeru semua masyarakat yang hadir dalam majlis tersebut agar memanfaatkan teknologi yang ada dan terus berusaha untuk membawa perubahan dalam kehidupan. Hal ini demikian kerana masyarakat berpeluang meningkatkan taraf kehidupan mereka sekiranya gigih berusaha dan sentiasa mendekatkan diri kepada-Nya.\nTurut mengiringi\u00a0 Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.\nUntuk rekod, melalui inisiatif tanggungjawab MAIPs dalam agihan sumbangan kepada Ibnu Sabil dan pengantarabangsaannya, MAIPs akan memberikan sumbangan awal kepada Tabung Ibnu Sabil berjumlah RM5000 kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zewland dalam masa terdekat." "Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) hasilkan Graduan yang Cekap dan Berkualiti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani\u00a0\u2013 Graduan yang mengikut kursus anjuran Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah dilatih untuk menjadi lebih cekap dalam semua bidang kerana ilmu yang dipelajari pasti bertambah jika graduan dapat menyambung pengajian ke tahap yang lebih baik. Graduan yang tamat latihan, akan menjadi individu yang hebat dengan kerjaya masing-masing apabila pandai menyesuaikan diri di mana-mana sahaja. Demikian ucapan urus setia konvokesyen tersebut, YM Raja Norraidah Raja Yaacob.\nBuat julung kalinya pada tahun ini, sebanyak 216 orang graduan telah menerima Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang disampaikan di Dewan Perdana, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Kedah, semalam.\nSijil yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah diberikan kepada graduan yang telah selesai mengikuti Kursus Kecantikan, Operasi Latihan Vokasional, Dandanan Rambut, Tadika/Taska, Bangunan, Urutan, dan beberapa kursus lain yang dikelolakan oleh Opa Sinergi Sdn. Bhd. yang beribu pejabat di Alor Setar, Kedah.\nMenurut YM Raja Norraidah Raja Yaacob lagi:\nInilah kali pertama sijil kepada graduan diberikan setelah graduan menamatkan pengajian dalam bidang tersebut dengan penuh bersemangat dan yakin diri.\nAhli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, Encik R. Summugam a/l Rengasamy ketika berucap dalam majlis penyampaian sijil kepada peserta konvokesyen itu berkata, golongan belia mampu melakukan kerja dengan cemerlang bagi membangunkan negara setelah mempunyai kemahiran yang tinggi, hal ini termasuklah mempunyai ilmu dalam aspek berkaitan perpaduan dan kesejahteraan sosial.\nTurut hadir sama dalam majlis tersebut ialah, Pengarah Urusan Opa Sinergi Sdn. Bhd., Encik Mohamad Idrus Abdullah Hudi, wakil kerabat diraja Negeri Kedah, YM Tunku Rizal Shah Tunku Muszaffar Shah, Penasihat Opa Sinergi Sdn. Bhd., Datuk J. C. Boon dan Wakil Rektor UiTM Kedah, Puan Rosliza Ismail." "Penjadualan Semula Peperiksaan SPM pada 16 Mac Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Penjadualan semula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 akan dilaksanakan pada 16 hingga 22 Mac 2023.\nMenurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), penjadualan semula peperiksaan ini melibatkan calon yang tidak dapat menduduki peperiksaan rentetan daripada bencana banjir yang berlaku baru-baru ini.\nSelain itu, calon tersebut termasuklah pelajar yang disahkan positif COVID-19.\nPenjadualan peperiksaan semula ini akan diuruskan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).\nJelas KPM dalam kenyataan media pada hari ini,\nMaklumat berkaitan tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan yang perlu diduduki akan dimaklumkan oleh JPN kepada calon serta sekolah yang terlibat.\u201d\n\u201cCalon turut dinasihatkan untuk menghubungi talian bilik gerakan Lembaga Peperiksaan (LP) dan JPN di seluruh negara seperti di lampiran bagi mendapatkan maklumat terperinci.\nPada masa yang sama, KPM akan terus memantau situasi banjir dan persediaan dari segi logistik, kesiapsiagaan pusat peperiksaan dan pelantikan petugas peperiksaan bagi memastikan penjadualan semula peperiksaan SPM tahun 2022 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur." "Program Digitalisasi Pendidikan Jamalullail Membina Kemenjadian Generasi Kini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan Program Digitalisasi Pendidikan Jamalullail (DPJ) yang melibatkan mass participation atau pelibatan menyeluruh seramai 4642 orang guru dan juga 47 094 orang murid sekolah di negeri Perlis.\nKeberangkatan baginda di Masjid Darul Ibadah, Kampung Padang Behor, Kangar disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd. Nazim Mohd. Noor.\nTuanku Raja Muda Perlis selaku Yang DiPertua MAIPs\u00a0berkata,\nMenjadi hasrat negeri Perlis dan baginda secara peribadi untuk melihat negeri ini terus menerajui dan mendahului digitalisasi pendidikan, bahkan juga dalam sektor yang lain secara meluas atau menyeluruh.\nUntuk rekod, idea atau asas kepada DPJ ini adalah untuk\u00a0mendigitalkan sektor pendidikan di negeri Perlis,\u00a0iaitu bermula pada Januari tahun 2021 yang lalu lagi.\nDigitalisasi pendidikan di Perlis merupakan kesinambungan daripada pendidikan secara dalam talian ketika era pandemik COVID-19 yang melanda negara dan dunia.\n\u201cPerkara ini lebih membanggakan apabila\u00a0Inisiatif Digitalisasi Pendidikan Perlis ini telahpun mendahului Pelan Digitalisasi Kementerian Pendidikan Malaysia yang telah diumumkan pada Januari 2022.\u201d\n\u201cMarilah kita sama-sama mendoakan kejayaan DPJ ini kerana kemenjadian anak-anak pelajar kita adalah tanggungjawab kita bersama serta bukti bahawa kita memandang serius terhadap pendidikan anak-anak kita.\u201d\nBagi tujuan itu, pihak IX Ventura dengan produk SnappEd merupakan rakan strategik Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Pendidikan Negeri yang dipilih melalui proses tender terbuka bagi menerajui inisiatif DPJ ini." "KKGLMSM Anjur Sambutan Jubli Intan 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani \u2013 Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) telah mengadakan Sambutan Jubli Intan 2023 secara besar-besaran di Hotel Park Avenue, Sungai Petani, Kedah semalam.\nSeramai 250 orang ahli kesatuan itu dari seluruh Semenanjung Malaysia hadir dan turut mengadakan bacaan Yasin dan tahlil.\nPresiden KKGLMSM, Mustafa Kamal Husin berkata, sehingga kini, hampir 12,000 orang guru lepasan maktab di seluruh Semenanjung Malaysia telah berdaftar sebagai ahli.\n\u201cKKGLMSM ditubuhkan sejak tahun 1962 lagi,\u00a0 (kesatuan ini) adalah atas kesedaran sebilangan guru-guru Maktab Latihan Harian Persekutuan Tanah Melayu waktu itu yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap perlunya suatu wadah perjuangan yang boleh membela dan memperjuangkan kebajikan guru.\n\u201cTerlalu banyak jasa dan pengorbanan pemimpin-pemimpin ini yang terus memperjuangkan nasib guru pada zamannya dan guru sekarang ini yang menerima banyak manfaat.\nAntara aktiviti sempena sambutan 60 tahun itu ialah seminar, kursus kepimpinan dan forum bagi membincangkan hala tuju KKGLMSM diikuti dengan pertandingan boling.\nTimbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Shafruddin Ali Hussin ketika berucap merasmikan sambutan itu berkata, KKGLMSM banyak melaksanakan pelbagai aktiviti untuk menyelesaikan setiap masalah yang timbul dalam menjayakan Falsafah Pendidikan Negara.\nKatanya, perubahan dalam bidang pendidikan terus berlaku di seluruh dunia dan kejayaan hanya mampu dicapai apabila seluruh anggota masyarakat memahami setiap perancangan dasar yang dibuat oleh kerajaan, termasuk Kementerian Pendidikan dengan penuh penelitian yang ditetapkan.\nTurut hadir ialah Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat, Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Rozaini Ahmad, Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Naharudeen Othman dan Wakil Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohd Yusof Shaari." "Enam Pelajar OKU ke Perancis untuk Pertandingan International Abilympics\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani \u2013 Seramai enam orang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dari pelbagai politeknik dan kolej komuniti dipilih mewakili negara ke Pertandingan 10th International Abilympics di Perancis mulai 24 Mac 2023 hingga 25 Mac 2023 nanti.\nMajlis pelancaran (Flag Off) pertandingan tersebut berlangsung di Kolej Komuniti Sungai Petani, Kedah, hari ini.\nPelajar OKU yang terpilih ialah:\n(i) Nur Amiratul Farahin Ab. Rahman, 23, dari Politeknik Ibrahim Sultan Johor, Kategori Seni Lukis dan Hasil Seni Bahan Buangan (Painting and Waste Art)\n(ii) Muhammad Darwisy Haziq Mohd Zam, 25, dari Politeknik Ibrahim Sultan Johor, Kategori Fotografi Luar (Outdoor Photography)\n(iii) Wan Muhammad Hafizunif Wan Roslan, 27, dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Perlis, Kategori Hiasan Kek (Cake Decoration)\n(iv) Muhammad Hanif Naufal Mohd Mazni, 23, dari Kolej Komuniti Selayang, Kategori Perkhidmatan Restoran (Restaurant Services)\n(v) Najwa Mahmud, 23, dari Kolej Komuniti Selayang, Kategori Pemprosesan Data (Data Processing)\n(vi) Salahuddin Ahmad Kamsan, 21, dari Kolej Komuniti Sungai Petani, Kategori Memasak (Cooking)\nKetua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Mohd Zahari Ismail ketika berucap di majlis itu berkata, OKU kini mempunyai potensi diri untuk maju dan hidup sejahtera dalam sebuah negara Madani.\nSyabas saya ucapkan kepada pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti yang dipilih mewakili Malaysia ke pertandingan tersebut.\nPelajar OKU dari 55 buah negara akan bersaing menunjukkan kemahiran ilmu berkaitan TVET serta lain-lain dan diharap pelajar mewakili Malaysia akan menang dalam pertandingan itu nanti.\nPengarah Kolej Komuniti Sungai Petani, YBrs. Encik Mohd Yusaini Mohamed Ali pula berkata, langkah yang diambil bagi mengadakan majlis di Sungai Petani kali ini dapat mengeratkan hubungan baik antara pensyarah dengan pelajar politeknik dan kolej komuniti di negara ini.\nTurut hadir menyaksikan upacara tersebut, Presiden Majlis Pemulihan Negara (MCR), YBhg. Datin Seri Paduka Khatijah Sulaiman dan Pengarah Kanan (Kompetensi) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Puan Zainab Othman." "DBP Manfaatkan Peruntukan RM20 Juta untuk Aktiviti Penterjemahan dan Penerbitan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan memanfaatkan sebaik-baiknya peruntukan RM20 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim yang juga merangkap Menteri Kewangan Malaysia menerusi pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari 2023.\nDalam usaha memanfaatkan peruntukan tersebut, DBP sedang merangka mekanisme terbaik untuk memastikan peruntukan yang akan disalurkan bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh DBP, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), dan Yayasan Karyawan, malahan kepada khalayak penerbit lain yang berupaya membantu negara mengetengahkan karya terjemahan yang bermutu dan disukai ramai. Khalayak penerbit yang menghasilkan karya yang bermutu tinggi juga mendapat peluang untuk bersama-sama DBP bagi melaksanakan aktiviti ini.\nAntara fokus yang akan diberikan tumpuan termasuklah penterjemahan karya asli dan karya agung dalam bahasa Melayu kepada bahasa asing dan dalam bahasa asing kepada bahasa Melayu; penerbitan karya agung dan penerbitan terpilih. Karya penulis yang berimpak tinggi dalam konteks keilmuan, falsafah dan pemikiran akan menjadi tumpuan dalam penterjemahan dan penerbitan karya demi membangunkan tamadun bangsa.\nPemerkayaan khazanah dan kepustakaan ilmu ini juga merupakan antara strategi utama dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Hal ini juga adalah selaras dengan matlamat penubuhan DBP yang tercatat dalam Akta DBP (semakan tahun 1978, pindaan dan peluasan 1995) yang menyatakan bahawa antara objektif utama penubuhan DBP termasuklah mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan bentuk-bentuk lain karya kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan dalam bahasa lain.\nBagi menggerakkan usaha sebagaimana yang dihasratkan oleh kerajaan, DBP akan mengadakan perbincangan dengan ITBM dan Yayasan Karyawan dalam tempoh terdekat bagi merangka hala tuju penerbitan dan penterjemahan yang lebih terfokus demi memastikan usaha menggiatkan aktiviti penterjemahan dan penerbitan dapat dilaksanakan dengan lebih baik, terarah dan memenuhi aspirasi Malaysia MADANI. DBP tidak akan bersendirian dan sentiasa terbuka dalam mendengar pandangan pelbagai pihak untuk memastikan mekanisme terbaik dapat diambil untuk memanfaatkan RM20 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan." "Masyarakat Chantek: Enigma Penyisihan Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u2013\u00a0Kedai pengedar buku dan majalah,\u00a0iaitu Toko Buku Rakyat telah mengadakan kuliah santai yang bertajuk Masyarakat Chantek: Enigma Penyisihan Masyarakat\u00a0secara bersemuka dan secara dalam talian. Kuliah tersebut diadakan di Tingkat 2, Bangunan Wisma Central, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 11 Mac 2023, baru-baru ini.\nKuliah ini dimulakan dengan sesi pengenalan ringkas oleh Encik Benz Ali, pemilik Toko Buku Rakyat berkaitan latar belakang penulis, iaitu Encik Rosli Ibrahim yang merupakan seorang aktivis Orang Kurang Upaya (OKU).\nAntara karya penulisan beliau seputar isu OKU yang telah diterbitkan, termasuklah O.K.U Bangkit\u00a0(2014) dan Gelap Mata\u00a0(2015). Buku Masyarakat Chantek\u00a0pula merupakan karya penulisan beliau yang ketiga.\nMenurut Encik Benz Ali, penulis buku ini\u00a0merupakan seorang yang aktif menulis dalam\u00a0media sosial dan merupakan antara penggerak kesedaran isu OKU dalam masyarakat di Malaysia.\nSesi kuliah dan bicara santai mengenai kandungan\u00a0buku Masyarakat Chantek\u00a0adalah merentasi pelbagai bidang dan disiplin ilmu.\nDari segi latarnya, buku ini sebenarnya adalah kesinambungan daripada idea buku Gelap Mata\u00a0itu sendiri. Asal usul perkataan \u2018Masyarakat Chantek\u2019\u00a0itu sendiri sebenarnya dipetik daripada sebuah filem Melayu klasik,\u00a0iaitu filem Sumpah Orang Minyak.\nMenurut penulis, terdapat\u00a0tiga perkara utama yang disentuh,\u00a0iaitu pengetahuan masyarakat mengenai OKU,\u00a0bahasa untuk mendefinisikan golongan OKU dan ketiadaan interaksi sosial masyarakat dengan golongan OKU.\n\u201cKita mendahului persepsi berbanding dengan mengadakan usaha untuk bertanya dan memahami mereka,\u201d ujar Encik Rosli Ibrahim.\nBeliau juga turut mengetengahkan perihal teori pembangunan dan perkaitannya dengan golongan OKU. Bukan itu sahaja, beliau juga turut menitikberatkan mengenai perihal kebajikan.\n\u201cKebajikan itu adalah hak. Setiap orang memerlukan kebajikan tidak kira OKU ataupun bukan OKU. Hal ini yang ingin dibincangkan dalam buku tersebut,\u201d katanya lagi.\nSesi kuliah santai ini ditamatkan dengan perkongsian serba sedikit mengenai epilog buku Masyarakat Chantek yang banyak menyebut tentang cara atau kaedah mencari kearifan tempatan terhadap OKU.\nPada masa yang sama, penulis turut berharap agar pembaca berfikir dan meneroka bersama isu mengenai golongan OKU." "Pelatih GIATMARA Lakukan Kerja Baik Pulih Rumah Asnaf\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar\u00a0\u2013\u00a0Usaha kerja-kerja membaik pulih rumah golongan asnaf wajar dipuji dan diberikan sokongan agar masyarakat terus peka akan kebajikan dan pendidikan demi masa depan yang cerah.\nDemikianlah titah Raja Puan Muda Perlis, DYTM\u00a0Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian program Jalinan Kasih Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Rural Capital Berhad (RCB) 2023 yang dilaksanakan di perkarangan Masjid Saidina Uthman Al-Affan Kampung Surau, Kangar pada semalam.\nKeberangkatan tiba baginda ke program yang dianjurkan mengambil sempena sambutan Hari MARA ke-57 dan juga ulang tahun RCB ke-10 itu disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Datuk Zulfikri Osman,\u00a0Ketua Pegawai Eksekutif Rural Capital Berhad, Haji Hiruddin Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif \u00a0Petronas Lubricant Marketing Malaysia Sdn.\u00a0Bhd.,\u00a0Mohd.\u00a0Zameer Zahur Hussin.\nTurut hadir\u00a0dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd.\u00a0Nazim Mohd.\u00a0Noor.\nDalam majlis tersebut, Datuk Zulfikri Osman mengatakan bahawa kerja-kerja membaik pulih rumah golongan asnaf telah yang dilakukan oleh pelatih GIATMARA melalui peruntukan daripada RCB sebanyak RM23 539.76.\nSelain itu, \u00a0sumbangan bernilai\u00a0RM5000 turut diberikan kepada Rumah Seri Kenangan, Kangar\u00a0bagi membantu keperluan semasa.\nProgram CSR yang melibatkan golongan asnaf seumpama ini akan dilaksanakan secara berterusan melalui beberapa siri program yang telah dirancang menerusi usaha sama melibatkan MAIPs antaranya, usaha atau inisiatif untuk menempatkan anak-anak asnaf menyambung pengajian ke mana-mana institusi pendidikan MARA.\nTambah beliau,\nSelain daripada aktiviti bersifat komersial, RCB juga giat melaksanakan aktiviti berbentuk CSR. Pelaksanaan program khidmat masyarakat MARA melalui anak-anak syarikatnya turut menawarkan pelbagai bentuk perkhidmatan. Bahkan, MARA turut memberikan fokus kepada aspek keusahawanan khususnya dalam membangunkan masyarakat luar bandar.\nDalam perkembangan lain, program Kayuhan Berbasikal MAIPs Peduli bersama MARA dan RCB turut dilakukan bagi menyantuni rumah keluarga asnaf. Penyampaian sumbangan wang zakat MAIPs tunai bernilai RM700 diberikan kepada setiap seorang beserta kit MAIPs Peduli berisi makanan asas dan beras fidyah diagihkan. Asnaf terpilih berkenaan turut menerima sumbangan tambahan yang disampaikan oleh Mohd.\u00a0Zameer bagi pihak Petronas Lubricant Marketing Malaysia Sdn.\u00a0Bhd." "Puteri Raja Muda Perlis Rai Peserta Konvoi NSC\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Puteri kedua Raja Muda Perlis, Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat membuat pelepasan \u201cflag off\u201d Kelab Kereta Berkuasa Tinggi Utara atau \u201cNorthern Supercar Club (NSC) Charity Drive 2023\u201d di perkarangan Rumah Kanak-kanak (RKK) Arau, Guar Nangka pada petang semalam.\nKetibaan Sharifah Farah Adriana disambut oleh wakil NSC, iaitu Beh Kwan Wei dan Ivaen Chew.\nHadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Ku Chik Ku Mat Esa.\nTerdahulu daripada itu diadakan sesi penyerahan sumbangan daripada pihak NSC kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis yang diterima oleh Sharifah Farah Adriana bagi pihak Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Raja Muda selaku Pengerusi Yayasan bagi tujuan menjayakan Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai Kuala Perlis berjumlah RM13,888.\nPihak NSC turut menyumbangkan RM12,000 kepada Rumah Kanak-Kanak Arau sempena program amal tersebut.\nTerdahulu diadakan taklimat daripada wakil Rumah Kanak-kanak Arau kepada sekalian yang hadir terdiri daripada para pemilik 28 buah kenderaan berkuasa tinggi yang majoritinya datang dari Pulau Pinang pada kali ini.\nDari RKK Arau, para peserta konvoi mengadakan lawatan di sekitar Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai dan mereka amat teruja melihat kejayaan transformasi yang dilaksanakan atas ilham dan kasih sayang DYTM Tuanku Raja Muda dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda ke atas rakyat baginda berdua. Transformasi tersebut juga disokong padu oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta YTSP Perlis bersama pelbagai jabatan, agensi serta individu dan mendapat sokongan penuh daripada kepimpinan dan masyarakat setempat walaupun baru lebih dua tahun dijayakan." "PM Mengabsahkan Kedudukan Bahasa Melayu di Pentas Utama PBB\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada 24 September 2022, terakam satu peristiwa bersejarah yang cukup bermakna bagi seluruh rakyat Malaysia amnya dan pejuang bahasa Melayu (BM) khususnya. Pemimpin nombor satu negara, YAB Perdana Menteri (PM) Malaysia, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob telah berucap dengan menggunakan BM dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-77 di New York, Amerika Syarikat. Secara tidak langsung, YAB PM merupakan pemimpin pertama dari Malaysia yang berucap dalam Perhimpunan Agung PBB dengan menggunakan bahasa Melayu. Peristiwa ini membuka lembaran baharu dalam usaha memartabatkan dan memperkasakan BM pada peringkat antarabangsa.\nDalam ucapan tersebut, YAB PM telah menggunakan BM tinggi yang mampu memberikan gambaran kepada masyarakat dunia tentang aspek kehalusan bahasa, budi pekerti dan budaya yang diamalkan oleh masyarakat Malaysia, khususnya dalam kalangan penutur BM. Hal ini dapat diperhatikan melalui teks ucapan YAB PM yang dimulakan dengan ucapan salam, iaitu \u201cAssalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Dunia\u201d, dan diakhiri dengan ucapan terima kasih serta ucapan doa \u201cWabillahi taufik wal hidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh\u201d.\nDalam ucapan tersebut, terdapat penggunaan peribahasa Melayu, iaitu \u201cBersatu kita teguh, bercerai kita roboh\u201d. Penggunaan BM tinggi di pentas antarabangsa seperti ini secara tidak langsung dapat menambahkan koleksi korpus BM yang dapat digunakan oleh penyelidik bahasa dan linguistik bagi menyuburkan serta mengayakan khazanah ilmu BM pada abad ke-21.\nDalam sesi ucapan yang berlangsung selama 20 minit tersebut, YAB PM\u00a0menggunakan BM\u00a0dengan penuh yakin. Beliau juga kelihatan segak di atas pentas dengan memakai baju Melayu berwarna hitam lengkap bersamping dan bersongkok.\nTindakan ini sebenarnya mencerminkan akal budi dan pendirian YAB PM dalam usaha mengantarabangsakan budaya dan BM. Hal ini selaras dengan satu daripada bidang keutamaan kerangka Dasar Luar Negeri Malaysia yang telah dilancarkan oleh YAB PM sendiri pada Disember 2021. Selain itu, secara pragmatiknya, tindakan ini memberikan beberapa isyarat penting kepada rakyat Malaysia khususnya dan masyarakat antarabangsa amnya.\nAntara isyarat tersebut termasuklah suatu penegasan kepada pemimpin negara yang hadir dalam Perhimpunan Agung PBB, khususnya perwakilan dari negara ASEAN bahawa Malaysia bersungguh-sungguh untuk menjadikan BM sebagai bahasa kedua ASEAN meskipun terdapat pihak yang kurang bersetuju dengan hasrat Malaysia ini. Menerusi isyarat ini, perbincangan yang proaktif harus dilakukan oleh negara ASEAN bagi memperhalusi dan membahaskan usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.\nMelalui penggunaan BM di pentas Perhimpunan Agung PBB ke-77 ini juga, secara tidak langsung, YAB PM menyampaikan isyarat kedua untuk mengabsahkan kedudukan BM sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara Malaysia. Tindakan YAB PM ini sebenarnya sangat bertepatan pada waktunya. Hal ini dikatakan demikian kerana masih berlaku pertikaian tentang kerelevanan penggunaan BM sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia meskipun perkara ini secara jelas telah diwartakan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.\nIsyarat yang disampaikan YAB PM\u00a0ini secara jelas menuntut warganegara Malaysia supaya beriltizam menggunakan BM\u00a0secara tekal dalam semua urusan, khususnya dalam urusan rasmi, sama ada yang dikendalikan oleh agensi kerajaan mahupun agensi swasta.\nSeterusnya,\u00a0YAB PM\u00a0menyampaikan\u00a0isyarat ketiganya\u00a0untuk\u00a0menuntut kepimpinan\u00a0negara dan pegawai kanan kerajaan supaya menggunakan BM\u00a0dalam semua urusan pekerjaan, khususnya ketika menyampaikan dasar kerajaan kepada masyarakat, sama ada pada peringkat nasional mahupun pada peringkat antarabangsa. Sekiranya YAB PM\u00a0mampu dan bersedia\u00a0menggunakan BM\u00a0dalam ucapan di pentas antarabangsa, semua warga Malaysia,\u00a0\u00a0terutamanya kepimpinan\u00a0negara dan\u00a0pegawai kanan kerajaan tidak boleh memberikan alasan untuk tidak melakukan tindakan yang sama.\nTindakan YAB PM menggunakan BM di Perhimpunan Agung PBB ke-77 lepas secara jelas telah mempamerkan teladan melalui kepimpinan. Hal ini dikatakan demikian kerana tindakan beliau seumpama ini bukanlah yang kali pertama. Sebelum ini, beliau pernah menggunakan bahasa Melayu sewaktu Sidang Khas ASEAN-Amerika Syarikat bersama dengan Presiden Amerika di Washington D.C., Amerika Syarikat pada Mei 2022.\nSebenarnya, selain YAB PM, terdapat\u00a0pemimpin negara lain yang berucap menggunakan bahasa rasmi negara masing-masing\u00a0di Perhimpunan Agung PBB ke-77 yang lepas. Menurut Mallika Sen dalam tulisannya yang berjudul \u00a0\u201cUN General Assembly Meeting of World Leaders, by the Numbers\u201d, terdapat \u00a014 bahasa bukan rasmi PBB yang telah digunakan oleh para pemimpin negara pada Perhimpunan Agung PBB kali-77. Bahasa tersebut ialah bahasa Bengali, bahasa Bosnia, bahasa Itali, bahasa Jepun, bahasa Jerman, bahasa Katalan, bahasa Khmer, bahasa Kirghiz, bahasa Macedonia, bahasa Melayu, bahasa Mongolia, bahasa Parsi, bahasa Poland, dan bahasa Turki.\nMelalui data ini, dapat\u00a0disimpulkan\u00a0bahawa pemimpin negara yang berucap dengan menggunakan bahasa masing-masing\u00a0mempunyai jati diri kebangsaan yang tinggi. Pemimpin\u00a0negara tersebut turut ingin mengantarabangsakan bahasa negara masing-masing, sama ada negara tersebut ialah\u00a0negara maju,\u00a0seperti Itali dan Jepun, atau\u00a0negara membangun seperti,\u00a0Bosnia dan Mongolia.\nNatijahnya, penggunaan bahasa Melayu di pentas antarabangsa tidak mengekang kemajuan negara. Hal ini telah pun ditegaskan oleh YAB PM dalam ucapan di Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu pada Mei 2022. Sesungguhnya, banyak negara maju yang telah memandaikan rakyat dan memajukan negara menerusi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan masing-masing.\nKerajaan Malaysia seharusnya mencontohi usaha tersebut dan tidak perlu ragu akan keupayaan BM kerana BM sememangnya telah terbukti mempunyai kehebatan, keunikan dan kewibawaan yang tersendiri dalam memacu pembangunan Tamadun Melayu. Warganegara Malaysia perlu sedar bahawa satu daripada identiti negara bangsa Malaysia ialah bahasa Melayu. Oleh itu, marilah kita berganding bahu untuk menyokong usaha YAB PM dalam usaha untuk memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu pada peringkat nasional dan antarabangsa. Sesungguhnya, keutuhan BM perlu sama-sama dipertahankan kerana apabila hilangnya satu-satu bahasa, maka lenyaplah bangsa tersebut." "Sektor Pendidikan Cerminan Malaysia Madani\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBandar Enstek \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus komited dalam mementingkan budaya ilmu kerana merupakan sebahagian daripada elemen penting dalam membangunkan Malaysia Madani.\nYB Puan Fadhlina Sidek selaku Menteri Pendidikan dalam ucapannya ketika merasmikan Seminar Membangunkan Malaysia MADANI: Peranan Sektor Pendidikan berkata,\nKita (KPM) mesti menonjolkan sikap yang baik\u00a0 dalam soal adab, santun dan pekerti.\nBeliau berpandangan bahawa adab dan akhlak merupakan elemen asas yang amat penting dalam pembentukan masyarakat Malaysia Madani.\nBeliau juga menyuarakan kebimbangannya apabila ada sesetengah pihak yang meremehkan kepentingan subjek yang \u201cmemanusiakan manusia\u201d seperti Pendidikan Agama Islam, Moral, Sejarah dan Sastera, sedangkan menurut beliau, \u201cSastera ini telah membentuk banyak segmen pemikiran, adab dan penghargaan yang cukup tinggi dalam urusan kemanusiaan.\n\u201cSaya tidak sedih kalau dikritik kerana kurikulum, tetapi menjadi sangat kecewa andainya anak-anak kita di sekolah ini meninggalkan sekolah tanpa menjadi manusia yang lebih baik,\u201d tambah beliau ketika merasmikan program yang berlangsung di Institut Aminuddin Baki\u00a0pada hari ini.\nMengulas lanjut, Menteri Pendidikan itu mengatakan bahawa pendidikan bukan hanya untuk meningkatkan kemahiran yang dimiliki oleh anak-anak, namun perkara yang lebih penting adalah pembangunan watak dalam diri mereka.\nTerdahulu, majlis ini turut membentangkan hasil perbincangan Master Class\u00a0dalam kategori Kemampanan, Daya Cipta, Kesejahteraan, Hormat, Ihsan, dan Keyakinan berdasarkan enam rukun Malaysia Madani." "Keputusan Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah Keluar pada 21 Mac Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Keputusan Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah (PASM) tahun 2022 bagi murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) akan dikeluarkan pada 21 Mac 2023 kelak.\nKementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa sebanyak 3667 MBPK dari 730 buah sekolah di seluruh negara telah menamatkan persekolahan bagi sesi akademik 2022/2023. Mereka layak dianugerahi Sijil Alternatif Sekolah Menengah (SASM).\nSASM tahun 2022 boleh diperoleh dari sekolah masing-masing pada 21 Mac 2023 mulai pukul 10 pagi.\n\u201cKPM sentiasa komited untuk memastikan ekuiti dan kesamarataan pendidikan terjamin seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013\u20132025,\u201d kata KPM dalam satu kenyataan pada hari ini." "Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terima Sumbangan Amal\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013\u00a0Bagi menjaminkan kelangsungan kebajikan, Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dalam Majlis Perasmian Bowling Amal Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Perlis pada hari ini menyeru agar program amal perlu dipergiat kepada semua lapisan masyarakat, terutamanya dalam kalangan anak yatim.\nTitah baginda dalam ucapan perasmiannya yang diadakan di Pusat Bowling Kangar, program Bowling Amal ini adalah bertujuan untuk mendapatkan sumbangan bagi meningkatkan dana Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim di Perlis.\nTambah baginda, program ini juga dapat menampung keperluan semasa mereka seperti tempat tinggal, makanan harian, pendidikan dan banyak lagi.\nPada masa yang sama, Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan kepada pertubuhan tersebut daripada Kasyaf Bina Sdn. Bhd., RD Mineral Sdn. Bhd., Cahaya Murni dan YB Mohd Ridzuan Hashim.\nKeberangkatan tiba baginda yang diiringi oleh anakanda kedua, Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke program yang dianjurkan oleh pihak pengurusan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Perlis itu disambut oleh Timbalan Yang Dipertua merangkap Pengerusi Bowling Amal PKAYPS 2023, Datuk Abdul Azib Saad." "Usah Tanam Benih Rasisme\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPermasalahan rasisme bukan sesuatu yang baharu terutamanya di negara yang terdiri daripada pelbagai kaum. Perhambaan yang wujud sejak terbentuknya tamadun awal manusia merupakan satu daripada contoh rasisme kerana warna kulit tertentu sahaja yang dijadikan hamba manakala yang lainnya adalah tuan. Rasisme yang paling ketara dalam sejarah manusia melibatkan perhambaan penduduk kulit hitam dari Afrika. Sejumlah 30 juta orang penduduk dari Afrika Barat telah diculik dan dijual sebagai hamba di Amerika dan Caribbean.\nAntara tahun 1525 dan 1866, lebih 12.5 juta orang telah diculik dari Afrika dan dihantar ke Amerika melalui perdagangan hamba transatlantik. Walau bagaimanapun, hanya sebanyak 10.7 juta hamba yang terselamat dalam perjalanan selama dua bulan ke Amerika. Rasisme bergerak seiring dengan penjelajahan, imperialisme dan kolonialisme Barat di seluruh dunia. Melalui proses tersebut, perdagangan hamba dan kemudiannya kemasukan buruh asing ke wilayah jajahan dan negara imperialis Barat berlaku antara abad ke-15 hingga awal abad ke-20.\nRasisme merupakan ideologi yang diwujudkan untuk membuat justifikasi atau penjelasan secara rasional supaya wujud ketidaksamarataan dalam kalangan kaum yang berbeza. Rasisme turut didefinisikan sebagai pandangan, pemikiran atau kepercayaan negatif oleh sesuatu kelompok sosial terhadap kelompok sosial yang lain berdasarkan ciri-ciri fizikal dan biologinya. Ideologi tersebut dibentuk berdasarkan tiga fahaman. Pertama, manusia boleh dibahagikan secara semula jadi berdasarkan ciri-ciri fizikal. Kedua, ciri-ciri fizikal itu berkait rapat dengan budaya, personaliti dan kebijaksanaan seseorang itu. Ketiga, atas faktor keturunan genetik, wujudnya kelompok yang lebih tinggi kedudukan sosialnya berbanding dengan kelompok yang lain.\nRasisme wujud pada dua tahap yang melibatkan individu dan institusi. Pada tahap individu, rasisme berlaku dalam bentuk kepercayaan bahawa wujudnya ras tertentu yang berstatus lebih tinggi dan ada yang status rendah. Bagi peringkat institusi pula, wujud dasar dan pelaksanaan bersifat diskriminasi yang membentuk ketidaksamaan terhadap masyarakat daripada ras berbeza. Ras merupakan kumpulan manusia yang berkongsi ciri-ciri biologi tersendiri yang diwarisi dan dapat dibezakan dengan jelas dalam masyarakat. Rasisme terpupuk oleh etnosentrisme, stereotaip negatif, prasangka atau prejudis dan diskriminasi.\nEtnosentrisme ialah kepercayaan atau rasa bangga yang wujud dalam kalangan anggota sesebuah kumpulan etnik bahawa budaya dan etnisiti mereka adalah yang paling baik berbanding dengan kumpulan etnik yang lain. Rasa bangga ini menimbulkan penghinaan dan memandang rendah terhadap kebudayaan, perayaan dan tradisi etnik lain. Penghinaan berlaku melalui pelbagai bentuk. Bentuk yang paling ketara dalam masyarakat ialah kebudayaan, perayaan dan tradisi etnik lain dijadikan bahan jenaka sama ada dalam rancangan televisyen realiti atau media sosial. Kewujudan pelbagai media sosial bak cendawan tumbuh selepas hujan membolehkan penghinaan dijadikan kandungan dan disebarkan dengan lebih pantas. Kandungan seperti itu umpama mencurah minyak ke dalam api kerana hubungan antara etnik yang berbeza akan semakin jauh dan timbul perasaan benci. Setiap pencipta kandungan perlu berhati-hati dan memahami sensitiviti budaya, tradisi dan agama etnik lain.\nStereotaip pula ialah gambaran yang berlebih-lebihan tentang sesuatu perlakuan baik atau buruk yang ditujukan kepada sesuatu kumpulan etnik oleh etnik yang lain. Bagi mengelakkan stereotaip, perlunya pemahaman terhadap budaya dan tradisi etnik lain. Stereotaip negatif akan menimbulkan perasaan negatif dalam kalangan masyarakat yang berbilang etnik. Kemalasan, gemar mengambil rasuah, menipu, tidak jujur, penagih, perokok, selekeh, kaki botol dan sering berjudi merupakan stereotaip negatif yang selalu diberikan terhadap satu-satu kumpulan etnik walaupun stereotaip itu tidak semestinya tepat. Hal ini akan membatasi interaksi antara etnik selain mengakibatkan rasisme semakin menebal. Stereotaip negatif akan memberikan kesan terhadap perasaan, kepercayaan dan pandangan seseorang itu. Amat malang apabila stereotaip ini diperturunkan ke generasi muda. Minda anak muda diindoktrinasi dengan pemikiran yang negatif maka hasilnya mewujudkan hubungan yang dingin antara etnik berbeza akibat sudut pandang yang dibentuk oleh stereotaip negatif.\nPrejudis pula ditakrifkan sebagai kepercayaan dan perasaan negatif mengenai ahli atau kelompok etnik lain. Prejudis terbahagi kepada dua jenis. Prejudis kategori bermaksud seseorang yang dinilai berdasarkan keahlian dalam sesuatu kumpulan etnik dan bukan personaliti individu. Manakala prejudis tidak fleksibel merupakan satu penilaian yang tetap tentang sesuatu kumpulan etnik dan tidak menerima perubahan pendapat terhadap sesuatu kumpulan etnik itu. Prejudis yang kuat terhadap kumpulan etnik lain sukar diubah walaupun terdapat fakta kukuh yang diberikan bagi membuktikan bahawa pemahaman tersebut adalah salah. Generasi muda atau baharu menjadi rasis kerana mewarisi sikap prejudis daripada generasi lama yang dekat dengan mereka terutama ahli keluarga. Prejudis boleh menyebabkan diskriminasi berlaku.\nDiskriminasi merupakan layanan buruk sesuatu kumpulan etnik terhadap kumpulan etnik yang lain. Diskriminasi sangat dipengaruhi oleh pandangan, pemikiran dan kepercayaan negatif seseorang atau sekumpulan etnik terhadap kumpulan etnik lain. Diskriminasi pada peringkat awal dapat dilihat apabila individu daripada kumpulan etnik berbeza cuba mengelakkan diri atau tidak mahu berinteraksi dengan individu etnik yang lain. Selain itu, berlaku gejala buli antara etnik yang berbeza.\nJika diskriminasi mencapai tahap tinggi, akan berlaku segregasi, pembuangan kerja, serangan fizikal secara terbuka, dipaksa mengikuti upacara atau menukar kepada agama lain dan yang paling teruk termasuklah penghapusan sesebuah kumpulan etnik. Segregasi etnik boleh berlaku melalui pelbagai cara antaranya segregasi di sekolah apabila pelajar berbeza etnik diasingkan tempat makan, kelas dan kegiatan kokurikulum. Pergaulan antara etnik berbeza amat tidak digalakkan. Pembuangan kerja pula berlaku atas faktor etnik majikan atau majoriti di tempat kerja yang berbeza atau akibat stereotaip negatif dan prejudis terhadap individu etnik lain.\nRasisme yang begitu teruk di Britain pernah menyebabkan serangan fizikal secara terbuka terhadap komuniti \u2018berwarna\u2019 yang terdiri daripada Afrika, Asia dan Caribbean. Serangan fizikal secara besar-besaran berlaku di London, Manchester, Liverpool, Hull, South Shields selain sebahagian Scotland dan Wales pada tahun 1919. Pada tahun 1948, berlaku lagi serangan besar-besaran di Liverpool, manakala di Nottingham dan Notting Hill pada tahun 1958. Pembunuhan akibat rasisme turut berlaku di Liverpool pada tahun 1919 melibatkan individu bernama Charles Wootton. Kelso Cochrane pula dibunuh di Notting Hill pada tahun 1959, Akhtar Ali Baig di East Ham (1980) dan Stephen Lawrence (1993). Keganasan akibat rasisme menyebabkan komuniti Afrika, Asia dan Caribbean menyusun gerakan politik atau demonstrasi antaranya Grumwick Strike pada tahun 1976 dan Black People\u2019s Day of Action pada tahun 1981 di London.\nRasisme yang terbentuk dalam diri individu sebenarnya bermula di rumah lagi. Terdapat ibu bapa yang menanam benih rasisme dalam diri anak-anak mereka. Mewariskan stereotaip negatif sehingga terbatas pergaulan anak-anak berbeza etnik. Oleh sebab itu, hasilnya akan menjadi seperti bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa sepatutnya menjadi suri teladan yang baik buat anak-anak. Terapkan nilai hormat-menghormati selain jangan menghina budaya, tradisi dan agama etnik lain. Perkara tersebut usah dijadikan bahan jenaka atau ejekan. Oleh itu, ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak \u00a0mereka berinteraksi dengan etnik lain, bermula dengan jiran tetangga dan kemudian di sekolah. Jika nilai-nilai murni diterapkan, benih rasisme tidak akan bercambah.\nSekolah yang sepatutnya berperanan dalam memupuk perpaduan menjadi tempat rasisme bercambah. Baik rakan mahupun guru akan mempengaruhi individu untuk prejudis terhadap etnik lain. Berlaku juga penghinaan dan buli antara etnik yang berbeza akibat stereotaip negatif. Pihak sekolah yang mengasingkan pelajar mengikut etnik dalam aktiviti kokurikulum dan sukan merupakan petanda awal perpecahan yang tidak seharusnya berlaku terutamanya dalam sektor pendidikan negara. Walhal aktiviti kokurikulum dan sukan mampu memupuk perpaduan jika tahu untuk memanfaatkannya. Persekitaran sekolah menjadi tidak selamat kerana diancam warganya yang rasis. Tindakan guru atau pentadbir sekolah yang rasis juga berlaku atas faktor perbezaan pandangan politik lebih-lebih lagi parti politik yang berjaya menanamkan rasa curiga, benci dan takut terhadap etnik lain dalam pemikiran mereka melalui pelbagai medium terutama media sosial.\nRasisme yang ditanam sejak di rumah dan bercambah di sekolah, kemudiannya berkembang mekar selepas alam persekolahan. Rasisme akan dibawa bersama ke tempat kerja atau Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Ketika itu, menjadi sukar bagi seseorang individu untuk berfikiran positif terhadap etnik berbeza. Hal ini akan menyukarkan kerjasama dalam satu pasukan kerja dan hubungan antara pekerja berlainan etnik dingin, selain wujud buli dan diskriminasi di tempat kerja. Perkara yang sama juga akan berlaku di IPT kerana mahasiswa yang berlainan etnik enggan bekerjasama atau duduk dalam satu pasukan bagi menyiapkan tugasan. Mereka juga akan mengurangkan interaksi dan pergaulan serta lebih selesa bersama etnik yang sama. Maka, elemen perpaduan akan menjadi semakin rapuh\u00a0 jika gejala ini berterusan dalam tempoh jangka masa yang berpanjangan." "Peruntukan PCG Tidak Dikurangkan, Diunjur Berdasarkan Angka Pelajar Setiap 1 Oktober\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Peruntukan Bantuan Geran Per Kapita (PCG) Mata Pelajaran di sekolah disahkan tidak pernah\u00a0dikurangkan sebagaimana didakwa akan dilaksanakan mulai sesi baharu persekolahan 2023/2024.\nKetua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, hal tersebut tidak pernah dibincangkan pada peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menurunkan PCG ke sekolah.\nDakwaan berkenaan berkemungkinan ada kekeliruan yang timbul kerana bantuan PCG itu adalah didasarkan kepada angka pelajar yang ada pada setiap 1 Oktober pada satu-satu tahun.\nMaka, peruntukan PCG bagi sesi akademik 2023/ 2024 diunjurkan berdasarkan jumlah pelajar setiap sekolah pada 1 Oktober 2022. \n\u201cJadi mungkin ada sekolah pada tarikh 1 Oktober itu bilangan pelajarnya kurang berbanding dengan tahun semasa. Mungkin pengurangan itu dapat dilihat.\u201d\n\u201cSemuanya akan dapat 100 peratus dengan bilangan pelajar yang ada pada tahun semasa selepas kita membuat kiraan penjajaran penyelarasan. Oleh itu, tidak ada isu kerana perkara ini tidak pernah pun dikeluarkan secara rasmi oleh KPM,\u201c jelas beliau dalam sidang akhbar selepas majlis amanat sempena pembukaan sesi persekolahan 2023/2024 di Kompleks E, Putrajaya pada hari ini.\nMengulas lanjut berhubung dengan dakwaan peruntukan PCG Mata Pelajaran di sekolah, beliau berkata hal ini didakwa dikurangkan lebih daripada 14 peratus mulai sesi baharu persekolahan 2023/2024 yang akan bermula 20 Mac ini.\nKeadaan itu menimbulkan tanda tanya dan kekhuatiran guru kerana boleh menjejaskan pembelajaran kira-kira 2.6 juta pelajar sekolah menengah.\nTindakan itu menyebabkan guru bakal berdepan kekurangan dana untuk merancang program tambahan akademik dan membeli modul peperiksaan bagi murid di semua tingkatan hanya kerana PCG akan digunakan untuk murid tingkatan lima yang bakal menghadapi peperiksaan utama.\nSementara itu, Datuk Pkharuddin berkata, perkara seumpamanya turut berlaku melibatkan peruntukan belanjawan secara keseluruhan bagi KPM yang sudah menjadi amalan setiap tahun peruntukan di awal tahun diturunkan sebanyak 70 peratus. \n\u201cBelanjawan 2023 sedang dibahaskan di Parlimen dan belum diluluskan, jadi setakat ini kita dapat belanjawan mini.\u201d\n\u201cBelanjawan mini ini kita dapat 50 peratus daripada peruntukan KPM dan memang sudah jadi amalan setiap tahun peruntukan pada awal tahun kita turunkan sebanyak 70 peratus.\u201d\n\u201cJadi selepas Belanjawan 2020 diluluskan dengan jajaran bilangan pelajar yang ada pada tahun semasa, maka peruntukan itu akan dikira semula dan akan ditambah untuk menjadikan bantuan PCG mengikut kelayakan yang diperoleh setiap sekolah itu,\u201c ujar beliau." "Lindungi Karya Berpotensi Tinggi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNilai \u2013 Harta intelek perlu dilindungi bagi menggalakkan kreativiti dan inovasi manusia. Jika harta ini tidak dilindungi, orang lain bebas menggunakannya dan tidak memberikan pulangan (nilai ekonomi) kepada pengkaryanya.\nPengarah/Pengasas Rimau Rights Literary Agency, Mohd. Azree Mohd Ariffin berkata, \nHarta intelek ialah harta yang unik yang tidak nampak, tetapi ada. Harta intelek dalam bidang undang-undang merujuk hasil kreativiti manusia yang meliputi karya sastera, seni dan muzik; reka cipta; dan simbol, nama, imej dan reka bentuk yang digunakan dalam perniagaan termasuklah hak cipta, cap dagangan, paten dan hak-hak lain yang berkaitan.\nMenurut beliau, hak cipta merupakan perlindungan yang diberikan kepada penulis, pemilik hak cipta dan pelaku tertakluk di bawah Akta Hak Cipta 1987. \nKarya yang layak mendapat perlindungan harta intelek, termasuklah karya sastera (misalnya, jurnal dan novel), karya muzik, karya seni, filem, rakaman bunyi, siaran dan karya terbitan (misalnya, karya terjemahan dan karya yang diubah kepada bentuk lain).\nTambah Mohd. Azree, hak cipta juga merupakan hak pengkarya kerana mempunyai nilai ekonomi untuk mendapatkan hasilnya seperti bayaran royalti dan hak moral untuk dikreditkan namanya sebagai penulis. \n\u201cSelepas tempoh 50 tahun pengkarya meninggal dunia, karya tersebut sudah termasuk dalam domain awam. Walau bagaimanapun, hak moral pengkarya masih berterusan walaupun pengkarya meninggal dunia,\u201d jelas beliau.\nSementara itu, Timbalan Presiden (Akademik, Penyelidikan dan Penglibatan Industri), Universiti Selangor, Prof. Dr. Md. Sidin Ahmad Ishak turut membangkitkan isu plagiarisme, iaitu peniruan dan pencurian karya orang lain dengan menggunakan nama sendiri tanpa persetujuan atau kebenaran daripada orang yang memegang hak cipta karya tersebut.\nJelas beliau,\nKarya yang dilindungi mestilah karya asli, ditulis, direkodkan atau didokumentasikan. Pelanggaran hak cipta yang melibatkan isu moral pengkarya asal boleh dikenakan tindakan undang-undang.\nMenurut Prof. Dr. Md. Sidin, Malaysia agak terlewat menyertai Konvensyen Berne yang dianggotai oleh 177 buah negara.\nDalam hal ini, Mohd. Azree berpandangan bahawa terdapat kriteria tertentu yang membenarkan seseorang itu memetik kata, paragraf atau stanza, iaitu pengkarya perlu mendapatkan izin terbit atau memberikan kredit nama kepada penulis asal. Pelangggaran hak cipta dibenarkan untuk kegunaan wajar, tidak bertujuan komersial, lebih bersifat akademik, untuk tujuan analisis atau ulasan; kesemua ini sebagai pembuktian pembelaan di mahkamah.\nBagi melindungi hak cipta, pengkarya disarankan untuk mendaftar harta intelek mereka dalam Pemberitahuan Sukarela Hak Cipta dengan melayari laman web rasmi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).\nWacana Hak Cipta dan Harta Intelek: Aspek Perbukuan dan Perlesenan Hak Cipta yang berlangsung di Bangunan Canselori, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini dipengerusikan oleh Pengarah Pusat Penerbit USIM, Puan Hariza Mohd. Yusof yang dihadiri oleh peserta daripada pelbagai agensi penerbitan." "Sesi Sekolah Mula Januari Ambil Masa Beberapa Tahun Lagi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Pelaksanaan sesi persekolahan bermula Januari akan mengambil masa beberapa tahun lagi untuk dikembalikan semula sebagaimana diamalkan sebelum pandemik COVID-19.\nMenurut Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali, langkah itu bukan mudah untuk dilaksanakan dalam tempoh singkat kerana memerlukan pengorbanan semua pihak, termasuklah melibatkan cuti persekolahan.\nApatah lagi, jelas beliau, jumlah hari persekolahan tidak boleh kurang daripada 190 hari sebagaimana yang ditetapkan dalam Akta Pendidikan 1996.\nJika mahu dikembalikan dengan cepat perlu mengorbankan cuti yang ada. Kalau sekolah tidak ada cuti, maka tidak ada waktu rehat bagi guru, pelajar bersama-sama ibu bapa, selain berkemungkinan memberikan kesan kepada ekonomi yang saling berkaitan rapat. \n\u201cKita perlu kekalkan 190 hari jadi kena anjakkan sedikit demi sedikit, mungkin potong di mana-mana dan anjak berapa banyak (hari). \n\u201cHal ini bukan satu perkara yang boleh dilaksanakan dalam tempoh singkat dan\u00a0 akan mengambil beberapa tahun dengan pengorbanan semua pihak,\u201c jelas beliau dalam sidang media di Kompleks E, Putrajaya pada hari ini.\nDatuk Pkharuddin berkata, permulaan sesi persekolahan pada Mac ketika ini boleh dilihat dari sudut positif apabila tempoh pelaksanaan peperiksaaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat dielakkan daripada dijalankan pada monsun timur laut. \nWalau bagaimanapun, situasi cuaca semasa tidak boleh dijangkakan berikutan perubahan iklim dunia dan ada ketika banjir tetap berlaku pada musim peperiksaan.\nKita sudah cuba sebaik mungkin untuk memberikan keselesaan terbaik kepada semua pihak.\nMengulas lanjut berkaitan dengan sesi persekolahan, KPM akan mempertimbangkan perkara ini berdasarkan takwim pada setiap tahun." "Harga Makanan di Kantin Sekolah Kekal\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberikan jaminan tidak akan timbul isu kenaikan harga makanan di kantin sekolah.\nTegas beliau, harga makanan di kantin sekolah termaktub dalam garis panduan dan perjanjian antara pengusaha, pihak sekolah dengan kementerian.\n\u201cKementerian ambil perhatian mengenai isu kos yang dibangkitkan tetapi perlu melihat kepada garis panduan itu serta perbincangan dengan sekolah,\u201d ujar beliau kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kejurulatihan Sukan dan Pelancaran Takwim Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Tahun 2023 di Dewan Serbaguna Kompleks E, Putrajaya pada hari ini.\nBeliau berkata demikian bagi menjawab kebimbangan ibu bapa kemungkinan harga makanan di kantin akan meningkat menjelang sesi persekolah yang akan bermula minggu hadapan.\nKetika ditanya mengenai cadangan penyeragaman harga makanan dan minuman di kantin sekolah mengikut lokaliti, Fadhlina memberitahu, perkara itu akan diberi perhatian.\n\u201cSekiranya ada keperluan untuk seragam, kita akan lihat dari semasa ke semasa,\u201d tambah beliau.\nSementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) akan memeterai Kod Sukan Selamat bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) minggu depan. Fadhlina berkata, pihak KPM akan memberikan komitmen penuh terhadap kod tersebut dalam usaha memastikan ekosistem sukan yang selamat untuk pelajar.\n\u201cKita mahu pastikan anak-anak dilindungi daripada sebarang bahaya seperti gangguan seksual, buli dan penggantungan,\u201d kata beliau. Menurut beliau, intipati kod tersebut yang dibangunkan oleh KBS berdasarkan Kod Olimpik merangkumi banyak aspek khususnya etika, hubungan, peranan ibu bapa dan komuniti sukan secara keseluruhan.\n\u201cHal ini berkaitan rapat dengan akses untuk membuat aduan sekiranya ada kes-kes gangguan seksual, buli dan sebagainya,\u201d tambah beliau lagi.\nSebelum itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah melancarkan Kod Sukan Selamat bagi menjamin hak serta kebajikan atlet dan komuniti sukan dalam negara untuk menikmati persekitaran sukan yang selamat." "Peruntukan Perbelanjaan untuk Sekolah Tidak Berkurangan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberikan jaminan bahawa peruntukan perbelanjaan bagi sektor pendidikan dalam Belanjawan 2023 termasuklah penyelenggaraan untuk sekolah tidak akan dikurangkan jumlahnya.\nBeliau berkata, keutamaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam Belanjawan 2023 adalah untuk menaik taraf sekolah-sekolah daif. \u201cPeruntukan tersebut tidak akan dikurangkan, tetapi dari semasa ke semasa formula kita ialah menentukan hal ehwal keperluan sekolah,\u201c ujar beliau.\nTambah beliau, \u201cKeutamaan KPM dalam Belanjawan 2023 ialah memberikan keutamaan kepada sekolah daif terlebih dahulu kemudian peruntukan untuk aspek penyelenggaraan tidak akan dikurangkan untuk memastikan sekolah berada dalam keadaan selamat danselesa demi pendidikan berkualiti buat pelajar\u201d jelas beliau kepada pihak media selepas melancarkan Takwin Kejohanan MSSM 2023 di Putrajaya, pada hari ini,\nSebagai rekod, sektor pendidikan negara terus diberi tumpuan dalam Belanjawan 2023 dengan peruntukan dana tertinggi,iaitu sebanyak RM55.2 bilion berbanding dengan RM52.6 bilion yang diperuntukkan pada tahun 2022." "ABIM, YPBN dan DBP Bersinergi Memperkukuh Program Merakyatkan Buku\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSepang \u2013 Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menghimpunkan pelbagai pihak, termasuklah ahli akademik, penerbit, persatuan penulis, yayasan, dan penjual buku dalam usaha mencari kaedah terbaik memperkukuh program merakyatkan buku di M\u00f6venpick Hotel & Convention Centre KLIA, Sepang pada 15 Mac 2022.\nPersidangan Meja Bulat dengan tema \u201cMerakyatkan Buku: Bersama Membangun Malaysia Madani\u201d ini juga menjadi landasan perbincangan lebih meluas pada Persidangan Buku Kebangsaan dan Persidangan Buku Antarabangsa yang akan diadakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada bulan Mei nanti.\nPengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan semasa menyampaikan ucap utama menekankan kepentingan menyediakan kerangka perancangan kerja yang komprehensif. Kerangka tersebut meliputi lima tahap utama, iaitu, penilaian kritis, pemetaan, pelaksanaan, promosi dan peneguhan prasarana.\nSementara itu, Setiausaha Agung ABIM, Encik Fazril Saleh pula melihat konsep merakyatkan buku ini dari aspek penciptaan kecenderungan minat dan suka kepada buku. Dengan kecenderungan yang diwujudkan secara terancang dapat mengajak rakyat turut serta secara tidak langsung. Kecenderungan ini pula haruslah dijana secara berterusan, bukannya aktiviti bermusim.\nPengarah Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq memfokuskan enam Rukun Malaysia Madani sebagai tonggak merakyatkan buku. Rukun tersebut, iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan, dan Ihsan yang sangat bertepatan dan relevan sebagai usaha transformasi bermula dari peringkat akar umbi rakyat Malaysia.\nPengarah Urusan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Encik Sakri Abdullah pula mencadangkan lima tindakan penting bagi merakyatkan buku. Tindakan tersebut meliputi pembentukan jawatankuasa, pembentukan terma rujukan, pembelian hak cipta penerbit asing, pembiayaan penuh untuk bahasa asing dan bidang keutamaan negara, serta menanggung kos terjemahan dan pertukaran judul. Tindakan ini haruslah digerakkan secara bersepadu tanpa meminggirkan mana-mana tindakan.\nSelain itu, Profesor Dr. Roosfa Hashim dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menegaskan tentang keperluan pembentukan minat dan budaya membaca yang utuh dalam kalangan masyarakat bagi menggerakkan kitaran ekonomi penerbitan buku. Menurut beliau, usaha merakyatkan buku akan terbantut sekiranya buku gagal disampaikan sedekat-dekatnya kepada rakyat.\nPresiden Persatuan Kontraktor Buku Malaysia, Encik Adi Irwan Dato\u2019 Haji Azhar menyatakan kepentingan aspek jualan buku sebagai usaha merakyatkan buku. Beliau mencadangkan supaya peruntukan pembelian buku oleh pihak sekolah harus digunakan untuk pembelian buku.\nPengerusi Eksekutif Intech Media, Encik Mohd Rishi Rossn menyatakan bahawa usaha merakyatkan buku ini tidak boleh lagi dilakukan secara fizikal semata-mata sebaliknya perlu memberikan tumpuan kepada pembacaan digital, seperti melalui e-buku.\nPresiden Persatuan Penjual Buku Malaysia, Encik Keith Thong mengulas tentang jualan kandungan. Menerusi koleksi data raya, pelbagai kandungan yang bersesuaian dengan semua rakyat dapat dipenuhi bagi merakyatkan buku tanpa apa-apa batasan.\nProfesor Emeritus Dr. Kamaruddin M. Said dari Majlis Profesor Negara pula menerangkan kepentingan untuk beralih kepada penggunaan teknologi digital dalam program merakyatkan buku. Takrifan buku tidak seharusnya dihadkan kepada suatu yang berjilid dan berkertas, sebaliknya turut mengiktiraf himpunan tulisan dalam bentuk digital sebagai sebuah buku.\nYang Berbahagia Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP dalam ucapan penutupannya menyatakan bahawa hasil persidangan ini turut menjadi input penting kepada DBP. Menurut beliau, \u201cHasil pada hari ini dapat membantu kami menjalankan agenda buku negara, agenda bahasa negara dan agenda sastera negara\u201d." "Teruskan Kesinambungan Menjulang Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dianggotai oleh pelbagai negara termasuklah Malaysia. Yang pastinya, setiap negara anggota mempunyai latar belakang bahasa masing-masing. Walaupun bahasa Inggeris dikatakan bahasa yang paling banyak digunakan orang ramai di dunia dan sering digunakan wakil pemimpin semasa menyampaikan ucapan, kini bahasa Melayu semakin terserlah dan telah pun bergema di pentas PBB melalui Kenyataan Negara oleh YAB Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob.\nSementara itu, bukanlah juga sesuatu yang luar biasa bagi mana-mana wakil negara menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing dan merupakan suatu kelaziman ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA). Namun begitu, bagi Malaysia, berkumandangnya bahasa Melayu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77, yang bersiaran secara langsung melalui pelbagai medium sebelum ini amat membanggakan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.\nTahniah dan syabas kepada YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob yang terus mengotakan janjinya untuk merealisasikan penggunaan bahasa ibunda negara, sekali gus menjulang bahasa Melayu di persada dunia. Detik bersejarah tersebut terukir indah bagi sejarah negara Malaysia pada hari Jumaat, iaitu pada 23 September 2022 di New York, bersempena dengan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77. Beliau mencatatkan sejarah apabila menjadi Perdana Menteri pertama yang berbuat demikian selepas 65 tahun Persekutuan Tanah Melayu sebagai anggota PBB, iaitu pada 17 September 1957.\nSebalik pujian yang diberikan kepada Perdana Menteri, tidak kurang juga ucapan sinis oleh golongan yang merasakan bahawa diri mereka lebih \u201celit\u201d atau berilmu. Mereka mempertikaikan penggunaan bahasa Melayu di persidangan tersebut yang seolah-olah memperlekehkan keupayaan penguasaan bahasa Inggeris YAB Perdana Menteri. Golongan ini sebenarnya memperlihatkan minda mereka yang telah sebati dengan kesan penjajahan secara tidak langsung dan tiada kekuatan jati diri sebagai rakyat Malaysia.\nTiada salahnya menggunakan bahasa Melayu, bahasa leluhur negara Malaysia. Jika bukan kita, siapakah lagi? Dalam persidangan rasmi di PBB, wakil negara anggota yang berucap dalam bahasa masing-masing akan dibantu dan disediakan interpretasinya kepada beberapa bahasa rasmi lain. Ucapan Perdana Menteri itu diterjemahkan kepada bahasa Inggeris secara langsung dan beliau sangat berbangga kerana dapat berbahasa Melayu semasa berucap seperti pemimpin dunia lain yang berbangga bercakap dalam bahasa masing-masing. Tegas beliau, kini setiap rakyat Malaysia perlu membuka minda dan yakin akan bahasa Melayu.\nUsaha dan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu bukan sahaja perlu dilaksanakan di dalam negara dan rantau ini, bahkan perlu disebarkan juga ke peringkat antarabangsa. Sehubungan dengan itu, persidangan atau forum antarabangsa seperti Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ini merupakan platform terbaik buat negara untuk merealisasikannya. Bahasa Melayu perlu diantarabangsakan kembali seperti dahulu yang terbukti sebagai lingua franca. Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa diplomasi juga telah sudah lama terlaksana.\u00a0Sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa diplomasi sewaktu zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.\nBerbahasa Melayu di pentas antarabangsa bukan bererti seseorang itu tidak mahir atau tidak fasih berbahasa Inggeris. Hal ini menunjukkan semangat cinta akan bahasa negara yang tinggi dalam diri dan sebagai bangsa yang bermaruah yang sedaya upaya menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk menempatkan bahasa Melayu gah bersama-sama bahasa asing lain. Perdana Menteri dalam kenyataannya sebelum ini juga menegaskan bahawa antara tujuan lain seseorang itu berucap juga termasuklah untuk memperkenalkan bahasa dan yang paling penting adalah untuk menyampaikan mesej.\nTambah beliau, usaha yang dilakukannya itu merupakan antara sebahagian daripada usahanya untuk memperkasakan\u00a0bahasa Melayu dan sekali\u00a0gus mempromosikan bahasa negara ini\u00a0ke seluruh dunia.\u00a0Melalui usahanya ini juga beliau yakin dapat membuka mata pemimpin lain dan seluruh Keluarga Malaysia untuk bersama-sama mengantarabangsakan bahasa kebangsaan. Pada masa yang sama juga dapat membuka ruang dan peluang kepada warga asing untuk mendekati, mengenali dan mempelajari kepelbagaian budaya, bangsa dan agama di Malaysia. Oleh itu, peluang berada di persidangan itu digunakannya dengan sebaik-baik mungkin dan merupakan penampilan kedua Perdana Menteri selepas menghadiri sesi ke-76 pada tahun lalu secara maya akibat pandemik COVID-19.\nSehubungan dengan itu, seluruh Keluarga Malaysia perlu membantu negara dalam melebarluaskan bahasa Melayu pada peringkat serantau mahupun antarabangsa.\u00a0Konsep jati diri penting sebagai asas dan akhlak bagi pembentukan jati diri individu, masyarakat dan negara. Pembentukan jati diri kebangsaan\u00a0menjadi agenda utama sesebuah negara untuk membina identiti tulen yang menjadi teras dan lambang keunggulan sesebuah negara. Oleh itu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menjadi teras dalam pembentukan jati diri negara.\nSementara itu, rasa kecintaan terhadap bahasa Melayu juga perlu ditanam dalam diri generasi muda. Mereka juga perlu menjadikan\u00a0bahasa Melayu \u201chidup\u201c seiiring\u00a0dengan teknologi. Sehubungan dengan itu, bahasa Melayu perlu dipertahankan supaya tidak menjadi bahasa kasar dan kesat yang digunakan untuk memaki hamun manusia lain.\nMasyarakat juga perlu mengubah sikap\u00a0yang\u00a0suka menggunakan bahasa rojak. Masyarakat perlu menguasai bahasa Melayu dengan baik dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai tonggak jati diri negara ini. Setiap warganegara\u00a0perlu sayang akan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan, bahasa berkomunikasi dan bahasa ilmu dengan rasa bangga." "MyJPJ: Pengganti Lesen, Insurans dan Cukai Jalan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia telah melancarkan aplikasi MyJPJ pada Februari lalu bagi memudahkan pengguna kenderaan untuk memperbaharui lesen memandu, insurans dan cukai jalan.\nMenurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim, kaedah pendigitalan ini adalah lebih mudah berbanding dengan cara fizikal, yakni hanya menggunakan telefon pintar.\n\u201cPemandu kini tidak lagi perlu mempamerkan pelekat cukai jalan di cermin kenderaan.\n\u201cMereka hanya perlu menggunakan telefon pintar untuk menyimpan semua maklumat tersebut,\u201d kata beliau semasa mengadap sembah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Galeri DiRaja Arau, hari ini.\nTurut hadir sama mengiringi beliau ialah Pengarah JPJ Negeri Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah dan Timbalan Pengarah JPJ Negeri Perlis, Mahazir Abd. Majid.\nDalam majlis tersebut, Datuk Zailani mempersembah maklumkan kepada Tuanku Raja Muda mengenai perkembangan terkini dan perihal inisiatif baharu JPJ bagi peringkat ibu pejabat di Putrajaya dan juga negeri di Perlis.\nTuanku Raja Muda Perlis yang merupakan mantan Pengurus Kawasan Syarikat Malaysia Airlines di Switzerland, berkongsi pengalamannya tentang suasana dan bentuk pendaftaran serta penguatkuasaan kenderaan jalan raya yang dilaksanakan oleh negara luar, terutamanya kepatuhan rakyat dalam mematuhi undang-undang jalan raya." "Nilai Timbang Rasa Dipandang Remeh?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nApakah yang dimaksudkan dengan sikap bertimbang rasa? Secara falsafahnya hal tersebut bermaksud keupayaan minda kita untuk melihat dan mentafsir perkara yang berlaku seperti pergerakan dan saiz secara logik akal. Selain itu, hal ini juga membawa maksud rasa semula jadi yang terdapat dalam diri manusia terhadap manusia lain. Dengan kata lain, sikap bertimbang rasa ialah cara kita memahami dan mempunyai sikap sensitiviti terhadap orang lain. Sebagai contoh, Apabila membaca isu yang terdapat dalam media sosial seperti Facebook atau Twitter, kita sering melihat kebanyakan masyarakat kurang menghayati sikap ini dalam diri mereka.\nIndividu yang tidak bertimbang rasa ini merupakan orang yang tidak memikirkan kesusahan orang lain dan hanya mementingkan diri mereka sendiri. Umpamanya, apabila kita berjiran, kita perlulah menghormati antara satu sama lain. Isu ini boleh dilihat di kawasan kejiranan apabila sesetengah individu dengan tanpa rasa bersalah meletakkan kereta mereka di hadapan pintu pagar rumah jiran yang lain sehingga jiran tersebut sukar untuk keluar masuk dalam rumah sendiri. Sikap tidak bertanggungjawab ini amat menyusahkan jiran tersebut jika merekamengalami kecemasan pada waktu tersebut.\nSikap tidak bertimbang rasa ini bukan sahaja berlaku di kawasan kejiranan sahaja, malah boleh berlaku di mana-mana sahaja. Antara contoh lain yang boleh dilihat termasuklah semasa berada di jalan raya. Ada sesetengah manusia yang suka memotong barisan apabila berlaku kesesakan jalan raya. Mereka sanggup menggunakan laluan kecemasan untuk memotong barisan kerana ingin cepat sampai ke destinasi. Sikap ini tidak patut diamalkan kerana individu terbabit sewajarnya bersabar apabila menghadapi situasi sedemikian. Hal ini demkian kerana bukan dirinya sahaja yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas pada waktu itu.\nApabila berada di kawasan kolej atau rumah sewa pula, lain pula ragam manusia yang berlaku. Dalam situasi ini, ada rakan serumah yang tidak menghormati rakan serumah yang lain seperti membuat bising apabila rakan lain sedang melakukan tugasan atau sedang tidur, membawa haiwan ke dalam rumah sehingga menyebabkan rakan lain tidak selesa dengan kehadiran haiwan tersebut di dalam rumah serta sikap penghuni rumah yang pengotor. Perkara sebegitu sebenarnya boleh difikir menggunakan akal yang dikurniakan oleh Tuhan, namun manusia menganggap itu perkara kecil dan remeh yang tidak memberikan kesan terhadap individu di sekelilingnya.\nBeberapa sikap bertimbang rasa yang perlu kita amalkan dan ambil peduli, iaitu:\n1. Mengucapkan terima kasih apabila diberi pertolongan\nUcapan terima kasih sangat mudah diucapkan, tetapi bukan semua individu begitu senang untuk mengucapkannya apabila telah diberi pertolongan. Ucapan ini merupakan perkara asas yang perlu dilakukan oleh semua orang apabila mendapat pertolongan, memperoleh hadiah atau sebagainya. Ucapan terima kasih menandakan kita menghargai seseorang itu, walaupun mereka sekadar memberikan sekecil-kecil bantuan\n2. Beratur semasa menunggu giliran\nBersabar dan tunggulah giliran anda.Tidak kira di mana-mana kita berada, sama ada di atas jalan raya semasa berlaku kesesakan lalu lintas, di kedai, beratur semasa menaiki bas atau kenderaan awam. Jangan memotong barisan semata mata untuk memudahkan urusan diri sendiri sehingga menyebab orang lain terpaksa menunggu dengan lebih lama.\n3. Perlahankan suara dalam situasi tertentu\nApabila berada di kolej atau rumah sewa, latihlah diri untuk perlahankan suara atau muzik yang sedang didengari jika melihat rakan serumah sedang tidur, berehat ataupun mengulangkaji pelajaran. Setiap individu perlukan ketenangan dan suasana yang sunyi apabila sedang belajar atau berehat. Jadilah individu yang mempunyai sensitiviti terhadap orang sekeliling.\n4. Parkir kenderaan di tempat yang sesuai\nJangan parkir kenderaan di petak orang kurang upaya (OKU) atau di hadapan pintu pagar rumah jiran sehingga mengganggu urusan harian mereka. Letaklah kenderaan di tempat yang sesuai dan tidak memudaratkan orang lain.\n5. Lepas makan, kemaslah meja\nSituasi ini sering dikaitkan apabila seseorang itu berada di kedai makan, iaitu selepas selesai menjamah hidangan. Oleh itu, adalah lebih baik untuk kita cuba meringankan tangan dengan membantu kemaskan semula pinggan yang telah digunakan. Mungkin sesetengah orang beranggapan bahawa hal ini tidak perlu dilakukan kerana menganggapnya sebagai tugas pekerja di kedai makan tersebut dan mereka dibayar gaji untuk melakukan kerja-kerja sebegitu. Namun begitu, tidak salah rasanya jika kita membantu mereka dengan menyusun pinggan dan mengelap meja yang mengandungi sisa makanan. Perkara itu mampu meringankan beban dan membuatkan mereka tersenyum apabila melihat kerja mereka dipermudahkan.\n6. Tidak merokok di kawasan larangan\nWalaupun terdapat papan tanda yang menunjukkan mengenai kawasan larangan merokok, namun masih banyak pihak yang tidak mematuhi arahan tersebut. Maka, elakkan merokok di kawasan larangan seperti kedai makan, pusat membeli belah atau di dalam kenderaan awam. Asap rokok boleh mengganggu keselesaan orang sekeliling terutamanya kanak-kanak, orang yang mempunyai penyakit asma dan alahan terhadap asap.\nSikap bertimbang rasa ini sangat penting untuk diamalkan. Hal ini boleh membawa kepada terjadinya pergaduhan, bermasam muka dan putus silaturrahim jika sikap ini tidak diamalkan. Hal ini akan menjejaskan hubungan seseorang itu dengan kawan serumah, jiran tetangga, saudara-mara dan orang sekeliling. Seseorang yang bijak bukan sahaja perlu menonjol dalam lapangan akademik semata-mata, malah juga harus mengamalkan sikap ini dalam kehidupan. Seseorang yang berpendidikan dan berjawatan tinggi, namun tidak mempunyai adab juga tidak memberikan apa-apa kebanggaan untuk diri individu tersebut. Malangnya kita jarang-jarang menghargai sikap timbang rasa yang ditunjukkan oleh sesetengah pihak kerana kita kerap menilai seseorang itu dari tahap pendidikan, jawatan dan pangkat yang mereka miliki.\nTerdapat beberapa cara yang praktikal untuk meningkatkan sikap ini dalam diri antaranya termasuklah:\n1. Belajar untuk membuat refleksi diri\nCara terbaik untuk menerapkan adab dan etika dalam diri ialah dengan merenung kembali setiap perbuatan yang telah dilakukan. Fikirlah sama ada perbuatan yang dilakukan itu betul dan sesuai untuk dilakukan atau sebaliknya. Refleksi dapat membantu kita belajar melakukan perkara yang perlu dilakukan, perkara yang tidak boleh dilakukan serta cara baharu untuk melakukan sesuatu.\n2. Bersikap tegas\nBuatlah keputusan menggunakan akal fikiran dan jiwa. Sebelum melakukan sesuatu perkara, eloklah difikirkan sama ada baik atau buruknya perkara tersebut. Kita perlu bersikap tegas dengan diri sendiri untuk mencegah daripada melakukan perkara yang boleh mendatangkan kesusahan, kemarahan dan masalah kepada orang lain, contohnya membuat keputusan untuk memilih parkir yang sesuai dan bukan menggunakan parkir OKU .\n3. Membina perspektif \nLetakkan diri kita di tempat orang lain dengan cara melihat diri sendiri dari perspektif orang lain jika kita melakukan tindakan tanpa memikirkan perasaan orang lain. Belajarlah daripada pandangan dan perspektif orang lain serta fikirlah sebelum melakukan setiap perbuatan.\nSikap bertimbang rasa boleh difikirkan dengan logik akal dan tidak perlu dipaksa. Oleh hal yang demikian, jadilah masyarakat yang mempunyai tahap timbang rasa dan adab yang tinggi supaya kehidupan kita lebih harmoni tanpa mengundang permasalahan dengan orang lain." "Kepentingan Nasional dan Dilema Keselamatan Kuasa Besar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKepentingan nasional adalah sebuah manifestasi semangat nasionalisme yang didasari oleh kehendak dan keperluan rakyatnya. Kepentingan nasional juga meliputi set kepentingan bersama masyarakat yang mendiami sesuatu wilayah dan disatukan dalam sebuah ideologi politik yang sama. Kepentingan nasional ini merangkumi keperluan rakyat yang merangkumi politik, ekonomi, pendidikan, kebudayaan, keterjaminan makanan, sumber alam dan teknologi demi memastikan rakyat di sesebuah negara mendapat segala yang diperlukan untuk terus hidup.\nMaka, setiap kerajaan di sesebuah negara perlu memelihara dan memastikan kepentingan nasional di negara masing-masing terus terjamin tanpa digugat oleh mana-mana aktor dalam sistem antarabangsa. Dasar luar merupakan alat bagi sesebuah negara untuk memastikan kepentingan nasionalnya terjamin di arena antarabangsa. Melalui dasar luar yang mapan, kepentingan nasional yang merangkumi pelbagai bidang dapat terus dilestarikan dan bergantung pada kebijaksanaan sesebuah kerajaan menjalankan dasar luar bagi menjamin kepentingan nasional.\nApabila berbicara tentang kepentingan nasional, maka hal ini tidak dapat lari daripada memperkatakan tentang dilema keselamatan yang mampu mengancam kelangsungan negara. Setiap negara mempunyai kepentingan nasional yang berbeza-beza dan cara mengendalikan dasar luar juga pastimya berbeza. Negara kuasa besar yang mempunyai keupayaan ketenteraan lazimnya menggunakan kaedah gun boat diplomacy terhadap negara-negara kecil selain kaedah cegah rintang terhadap negara yang mempunyai keupayaan setara atau hampir setara dengan mereka. Kaedah gun boat diplomacy diibaratkan sebagai dasar kebergantungan \u00a0negara-negara kecil kepada negara kuasa besar apabila negara kuasa besar menjadikan negara-negara kecil sebagai negara proksi atau negara penampan. Negara kecil seperti Kemboja atau Sri Lanka contohnya terpaksa menuruti China kerana China sebagai sebuah daripada negara kuasa besar telah banyak memperuntukkan bantuan dan pelaburan kepada mereka sehingga China mampu menjadikan Kemboja dan Sri Lanka sentiasa menuruti kehendak mereka.\nKaedah cegah rintang pula dijalankan oleh negara-negara kuasa besar bagi mengimbangi kekuatan ketenteraan negara-negara pesaing mereka agar ancaman berbentuk tradisional seperti ketenteraan tidak berlaku. Presiden China, Xi Jinping baru-baru ini menggesa angkatan tentera bersenjatanya segera dimantapkan sehingga mampu menjadi pasukan bertaraf dunia, terutamanya selepas tindakan Amerika Syarikat yang semakin mengancam keselamatan mereka sejak kebelakangan ini. Ucapan beliau pada Kongres Tahunan ke-14 Parti Komunis China (CCP) itu menyusuli kenyataan Menteri Luar China, Qin Gang yang memberikan amaran mengenai kemungkinan berlakunya konflik China-Amerika Syarikat. Rentetan daripada itu, Xi Jinping berkata China perlu memaksimumkan keupayaan strategiknya dalam usaha menaiktarafkan keseluruhan kekuatannya secara sistematik bagi menghadapi risiko, melindungi kepentingan dan objektifnya. Kenyataan ini tertumpu pada dilema keselamatan China terhadap kedaulatan negara dan kepentingan nasionalnya, apatah lagi China kini muncul sebagai salah sebuah kuasa besar dunia yang berpotensi besar mencabar hegemoni Amerika Syarikat terutamanya di rantau Asia Pasifik.\nBagi Beijing, mereka merasakan diancam oleh Amerika Syarikat dan kepentingan nasionalnya berpotensi digugat. Sebagai mana China, Washington juga sudah pasti mengambi langkah yang sama dilakukan oleh China serta beranggapan Beijing juga mempunyai niat yang untuk mengganggu gugat kepentingan nasionalnya dan memecahkan dominasi hegemoninya di rantau Asia Pasifik.\nPersaingan antara China-Amerika Syarikat kembali membawa kita kepada memori era Perang Dingin sekiranya dilema keselamatan antara kedua-dua buah negara ini terus memuncak. Dilema keselamatan yang didasari oleh kepentingan nasional mampu menatijahkan perlumbaan senjata yang pada akhirnya menjadikan landskap politik antarabangsa berada dalam suhu yang panas dan berpotensi berlakunya peperangan fizikal, apatah lagi kedua-dua buah negara mempunyai keupayaan senjata nuklear dan keupayaan ketenteraan yang canggih.\nNegara lain dalam sistem antarabangsa perlu menjalankan peranan masing-masing melalui organisasi-organisasi antarabangsa bagi memberikan tekanan kepada kedua-dua buah negara agar mengendurkan dilema keselamatan masing-masing kerana dilema keselamatan yang dialami oleh kedua-dua buah negara kuasa besar ini sebenarnya berpunca daripada \u201cdosa\u201d yang pernah dilakukan oleh mereka terhadap negara lain. Dalam situasi ini,hanya orang bersalah sahaja yang takut dengan bayang-bayangnya sendiri. Jika tidak, seluruh dunia terutamanya negara-negara kecil bakal menjadi mangsa kerana kebiasaannya pelanduk kerap kali mati di tengah-tengah pertarungan antara dua ekor gajah." "Mengukuhkan Integriti Masyarakat Madani\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKluang \u2013 Agenda nasional untuk pembudayaan integriti dan antirasuah dalam kalangan masyarakat madani diperkukuh melalui Program Jelajah Prihatin Integriti (JPI). Program kerjasama antara Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeiO), Persatuan Penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor (PERSAJ) dengan Yayasan Prihatin SPRM (YPS) ini adalah bagi menyantuni masyarkat yang terkesan dengan banjir di beberapa daerah di Johor, baru-baru ini.\nProgram tersebut turut dijayakan oleh Rakan Integriti ACeiO yang melibatkan 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Johor yang menyediakan kemudahan kenderaan dan logistik. Manakala sumbangan barangan keperluan serta makanan disumbangkan oleh rakan integriti lain yang terdiri daripada orang perseorangan, syarikat dan agensi. JPI pada kali ini turut disertai oleh sukarelawan kebajikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Juara Integriti daripada kalangan penguatkuasa PBT Johor.\nPresiden ACeiO, Tuan Ahmad Sabri Mohamed yang mengetuai JPI ketika ditemui menyatakan rasa terharu dengan komitmen dan nilai murni yang ditunjukkan oleh semua pihak bagi menjayakan program tersebut. Keprihatinan dan sokongan yang diberikan oleh semua pihak kepada mangsa bencana diharap dapat menyuntik dan menyuburkan budaya integriti bagi mengekang rasuah yang menjadi musuh negara.\nSelain itu, YM Raja Abu Bakar Raja Yahya, iaitu Presiden PERSAJ ketika mengulas lanjut menyatakan kesediaan PERSAJ untuk bersama-sama dalam menjayakan program yang membantu masyarakat. Pelibatan tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial dan komitmen PERSAJ kepada masyarakat yang turut mengukuhkan lagi jati diri dalam kalangan ahlinya untuk menghindari amalan rasuah.\nPada masa yang sama, Setiausaha YPS, Tuan Hossen Abdul Rahim menjelaskan bahawa pelibatan pihaknya adalah sebagai sayap kebajikan kepada SPRM yang turut prihatin dengan nasib yang menimpa masyarakat yang terkesan dengan bencana. Program seperti JPI ini juga turut menjadi landasan bagi membantu SPRM menyebarluaskan nilai integriti dan mesej antirasuah kepada masyarakat.\nSelain membantu dan menyampaikan sumbangan kepada mereka yang terkesan dengan bencana, JPI juga menjadi wadah dalam membudayakan integriti dan amalan antirasuah dalam kalangan masyarakat setempat." "Terima Sarjana di Universiti Terbaik Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u00ad\u2013 Anakanda kedua Raja Muda Perlis, Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berjaya menamatkan pengajian pada peringkat sarjana dalam Perniagaan Antarabangsa di Monash University Malaysia, hari ini.\nMenurut Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Sharifah Farah Adriana menerima ijazah sarjananya dalam Majlis Istiadat Konvokesyen yang disampaikan oleh Timbalan Canselor, Peter Young AM KC di Grand Ballroom Sunway Resort Hotel and Spa.\nMajlis tersebut dipecahkan kepada tiga sidang, iaitu melibatkan sebanyak 270 orang graduan Perniagaan dan Undang-Undang, 295 orang graduan Perubatan, Farmasi dan Sains serta 296 orang graduan bagi jurusan Sastera, Pendidikan, Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat.\nBerangkat menghadiri majlis konvokesyen salah sebuah daripada 50 universiti terbaik di dunia tersebut ialah Tuanku Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.\nTurut berangkat bersama ialah anakanda puteri sulung, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan anakanda putera bongsu, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.\nMenyambut keberangkatan tiba baginda berdua ialah Presiden merangkap Pro-Naib Canselor (Interim) Universiti, Professor Matthew Gordon Nicholson, Ahli Majlis Universiti Geraldine, Johns-Putra dan Naib Presiden (Pendidikan), Professor Beverley Joyce Webster.\nDalam perkembangan lain, Sharifah Farah Adriana yang merupakan seorang daripada Ahli Lembaga Pengarah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) dan juga Penaung Hermission House Extreme Sports Club (HHESC) telah memulakan kerjayanya sebagai Ketua Komunikasi di sebuah syarikat penjualan alat-alat sukan dari luar negara pada 15 Mac baru-baru ini.\nDilahirkan di Hospital Zollikerberg, Zurich, Switzerland pada tahun 2001, Sharifah Farah Adriana baru sahaja menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-22 pada 4 Mac lalu." "Mahallah Sumayyah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Juara Pertandingan Debat Belia 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSerdang \u2013Pasukan debat Mahallah Sumayyah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjuarai Pertandingan Debat Belia antara Institusi Pengajian Tinggi 2023 \u201cPiala Tan Sri Aishah Ghani\u201d (DELIA 2023) setelah berjaya menewaskan pasukan Universiti Malaya (UM) di Dewan Besar, Universiti Putra Malaysia (UPM).\nKedua-dua pasukan membahaskan usul debat bertajuk \u201cDewan ini mencadangkan wakil mahasiswa perlu dilantik sebagai ahli Dewan Negara,\u201d dan pasukan debat Mahallah Sumayyah UIAM beraksi selaku pencadang di pihak kerajaan sementara pasukan UM beraksi selaku pembangkang.\nPasukan Mahallah Sumayyah UIAM meraih hadiah piala dan wang tunai sebanyak RM1000 termasuk memenangi kategori Pendebat Terbaik, sementara pasukan debat UM mendapat tempat kedua dengan meraih piala dan wang tunai RM700.\nBagi tempat ketiga pula diraih oleh pasukan Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, UPM dan pasukan Asrama Kasturi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Kedua-dua pasukan mendapat hadiah wang tunai RM400.\nAnugerah Pendebat Terbaik Liga telah disandang oleh Muhammad Hakim\u00a0 Nor Zamani dari UPM manakala Anugerah Pendebat Terbaik Akhir disandang oleh Saudari Nur Syahirah Balqis binti Shahrulnizam dari UIAM.\nMajlis perasmian penutupan disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Amini Amir bin Abdullah, Pengerusi Jemaah Pengetua, UPM.\nTurut hadir ialah Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Shukri Muhammad Noor, Pengetua Kolej Tan Sri Aishah Ghani dan Puan Roziah Md Yunus, Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nSebanyak 26 pasukan dari pelbagai institusi pengajian tinggi Malaysia telah menyertai program anjuran Sekretariat Akademik dan Sahsiah, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Aishah Ghani Sesi 2022/2023, Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Kolej Tan Sri Aishah Ghani, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, Kelab Debat Bahasa Melayu (KDBM) UPM dan DBP.\nMengulas lebih lanjut berkaitan dengan pertandingan yang berlangsung dari 17 hingga 19 Mac 2023, tujuan utama dilaksanakan adalah untuk melahirkan modal insan yang memiliki pemikiran yang kritis dan berupaya menjana idea yang bernas dan relevan, di samping membentuk golongan mahasiswa yang berpengaruh dan berkepimpinan." "UniMAP Memperkenalkan Sukan Tekbol di Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Persatuan Teqball Negeri Perlis memperkenalkan sukan tekbol kepada pelajar menerusi Kejohanan Teqball Sekolah-Sekolah Menengah Negeri Perlis (Bawah 18 Tahun).\nTimbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP merangkap Pengerusi Penaja Persatuan Teqball Negeri Perlis berkata,\nKejohanan ini akan dilaksanakan selepas sambutan perayaan Aidilfitri untuk mencungkil dan memilih bakat baharu bagi mewakili Perlis pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.\nMajlis perasmian kejohanan yang julung kali diadakan telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis merangkap Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang diadakan di perkarangan Pusat Teratak Jagaan Rahmat, Mata Ayer, hari ini.\nHadir sama ialah Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Indera Ir. Baharin Din dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPN), Naharudeen Othman.\nDalam usaha memperkenalkan sukan tekbol di negeri ini, Prof. Dr. Mohd Fo\u2019ad berkata, TNB telah menyumbang sebanyak RM3000 untuk tujuan penganjuran kejohanan tekbol.\nTambah Prof. Dr. Mohd Fo\u2019ad, \u201cpihak TNB yang diwakili oleh Datuk Indera Ir. Baharin turut menyerahkan piala pusingan kepada kami.\u201d\nDalam majlis sama, demonstrasi permainan tekbol turut diadakan oleh staf Pusat Sukan dan Rekreasi UniMAP bersama wakil daripada Kelab Kilat TNB Perlis." "Pasukan Woodball Perlis Menempa Kejayaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "PATI Beban kepada Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nMengapa sempadan negara begitu mudah dibolosi dan mengapa Malaysia menjadi pilihan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)?\nDua persoalan ini pasti akan berlegar di benak rakyat Malaysia apabila isu PATI tidak pernah ada jalan penyelesaiannya. Memasuki negara ini secara haram, tinggal melebihi tempoh, meneroka dan membina penempatan haram, serta bebas melakukan aktiviti seperti berniaga, menunjukkan seolah-olah mereka kebal kepada undang-undang negara.\nJawapan yang sering kita dengar, sudah pasti ada pihak yang melindungi mereka, membawa masuk mereka secara haram dan mendapat imbuhan mudah dalam bentuk rasuah oleh agensi penguatkuasaan dikatakan antara punca mengapa isu PATI ini tidak pernah selesai.\nData Bank Dunia pada tahun 2017 menganggarkan bahawa antara 1.23 juta orang hingga 1.46 juta orang warga asing tanpa dokumen berada di Malaysia. Sementara itu, agensi berita Reuters pula melaporkan bahawa terdapat kira-kira dua juta lagi warga asing dengan dokumen sah. Itu data yang dikeluarkan mengambil tempoh enam tahun yang lalu dan berdasarkan kepada perkembangan semasa, jumlah PATI pada ketika ini mungkin jauh lebih besar jumlahnya dan jika dibiarkan pastinya akan menyumbang kepada lebih banyak kerugian kepada negara dalam tempoh jangka masa yang panjang.\nDi bawah program pengampunan dan pulang secara sukarela yang diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 2021, sebanyak 90 ribu PATI telah dihantar pulang secara sukarela. Namun begitu, jumlah mereka yang tinggal secara haram dan enggan menyertai program tersebut besar kemungkinan jauh lebih tinggi. Hal ini dapat dilihat berdasarkan jumlah mereka yang ditahan kerana tidak mempunyai dokumen yang sah atau tinggal melebihi tempoh dalam beberapa operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa baru-baru ini.\nLebih menakutkan lagi apabila terbongkarnya beberapa penempatan haram yang dibina oleh PATI dengan kemudahan yang serba lengkap seolah-olah menunjukkan mereka tidak sama sekali berhasrat untuk kembali ke negara asal mereka. Ketika program tersebut dilaksanakan, kerajaan berjaya mengutip sebanyak RM52 juta daripada denda yang dikenakan kepada PATI. Pada hakikatnya, kerajaan masih menanggung kerugian yang besar dalam bentuk hasil caj levi yang sepatutnya dibayar oleh pekerja berkenaan sekiranya mereka bekerja di negara ini secara sah.\nBerdasarkan statistik\u00a0 yang dikeluarkan oleh pihak Imigresen Malaysia, hasil daripada program tersebut, kerajaan mendapati bahawa anggaran kehilangan pendapatan negara mencecah RM100 juta hingga RM130 juta setahun dalam bentuk hasil caj levi yang sepatutnya dibayar oleh pekerja asing seandainya mereka memasuki dan bekerja secara sah di negara ini.\nSementara itu, Pelan Rekalibrasi PATI 2.0 di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) yang diumumkan pada 10 Januari 2023, mendapati sebanyak 194 793 PATI telah berdaftar dengan membabitkan 17 053 orang majikan. Permohonan yang diterima melalui program itu membabitkan sebanyak 55 peratus daripada sektor pembinaan, sektor perkhidmatan (28 peratus), sektor perkilangan (enam peratus), sektor pertanian (enam peratus) dan sektor perladangan (lima peratus).\nData terbaharu ini menunjukkan bahawa PATI masih menjadi satu isu yang membebankan kerajaan dan menggugat kedaulatan negara. Keberadaan mereka di negara ini secara haram sebenarnya banyak merugikan negara selain memberikan impak kepada masalah sosial dan imej negara. Lebih merugikan kerajaan apabila keberadaan PATI yang tidak terkawal menyebabkan kerajaan tidak memperoleh sebarang bentuk cukai atau lain-lain caj perkhidmatan yang terpaksa ditanggung oleh penduduk tempatan. Malah mereka juga selesa menikmati segala kemudahan termasuk subsidi terhadap beberapa barangan kawalan yang khusus untuk rakyat di negara ini.\nSerbuan ke atas dua buah penempatan haram PATI masing-masing di Nilai Spring dan Cyberjaya baru-baru ini menunjukkan bahawa isu ini perlu terus diberikan perhatian yang serius. Hal ini dikatakan demikian kerana kedua-dua penempatan ini sudah didiami lebih lapan tahun yang lalu dan yang lebih mengejutkan, penempatan ini turut dilengkapi dengan segala kemudahan termasuk sekolah yang menggunakan sukatan pelajaran dari negara asal mereka.\nTerkini, sebuah lagi penempatan haram PATI di Bandar Ainsdale, Nilai, yang diserbu oleh Jabatan Imigresen Malaysia turut didiami oleh rakyat warga Indonesia, membuktikan bahawa jumlah mereka sebenarnya masih tinggi dan satu usaha berterusan bagi membendung kemasukan PATI ke negara ini perlu dilakukan dengan segera.\nDalam hal ini, kita tidak sewajarnya dibuai dengan sentimen dan emosi kemanusiaan, sebaliknya perlu mendaulatkan undang-undang seperti mana yang dilakukan oleh negara luar terhadap pendatang asing yang memasuki dan tanggal di negara mereka secara haram. Mereka bukan sahaja dikenakan hukuman yang berat, malah disenaraihitamkan daripada memasuki negara tersebut.\nApa-apa yang berlaku di negara ini, seolah-olah \u00a0PATI tidak takut dengan penguatkuasaan undang-undang malah bebas hidup umpama warga tempatan. Lebih mencurigakan lagi bagaimanakah mereka begitu berani meneroka bidang perniagaan sehingga mampu menguasai sektor tertentu sedangkan rakyat tempatan terbeban dengan pelbagai masalah akibat ketidaktentuan ekonomi dan pascapandemik COVID-19 dan mereka juga berharap kepada pelbagai bentuk bantuan daripada kerajaan. Pada hari ini, kita dapat melihat bagaimana sektor perniagaan peruncitan sudah dikuasai sepenuhnya oleh warga Aceh, perkhidmatan gunting rambut dikuasai warga dari India, penduduk Melayu Selatan Thailand mendominasi kedai makanan dan warga Pakistan sinonim dengan penjualan karpet dan kain.\nHakikatnya, kewujudan mereka secara tidak langsung menutup ruang perniagaan kepada rakyat tempatan dan perkara ini perlu ditangani secara serius. Jika dibiarkan, tidak hairanlah jika satu hari nanti kota-kota besar terutama di Kuala Lumpur bakal menyaksikan rakyat tempatan hanya mampu berniaga kecil-kecilan di kaki lima yang berdepan dengan pelbagai risiko dan tindakan undang-undang sedangkan warga asing mampu membuka kedai sendiri, malah mampu menyewa lot kedai yang dahulunya dimiliki oleh kaum Cina.\nApakah senario ini yang ingin kita lihat? Apakah ini imej Malaysia yang hendak ditunjukkan kepada pihak luar? Kita tidak perlu menuding jari untuk menyalahkan mana-mana pihak, tetapi apabila perkara ini dibiarkan tanpa adanya tindakan, pastinya akan menimbulkan beberapa tanggapan negatif rakyat tempatan terhadap pihak penguatkuasaan mahupun kerajaan.\nWalaupun sudah banyak bukti wujudnya elemen rasuah dan mereka yang bersalah telah dijatuhkan hukuman, masalah ini masih belum bernoktah. Kakitangan awam yang terlibat secara langsung dalam menjaga kedaulatan negara perlu memikirkan kesan akan perbuatan mereka bukan sahaja kepada keselamatan negara tetapi juga kepada generasi akan datang." "Tiga Sekolah Terjejas Banjir di Johor Dibuka Semula\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bakal membuka tiga buah sekolah di Johor yang terjejas akibat banjir dalam tempoh yang terdekat selepas keadaan sekolah selamat dan dibersihkan sepenuhnya untuk sesi persekolahan baharu.\nTiga sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Nasib Baik, Batu Pahat, SK Sri Mendapat dan SK Tanjong Sembrong, Parit Raja.\nTimbalan Menteri Pendidikan, YB Lim Hui Ying berkata, KPM akan memastikan keselamatan diutamakan terlebih dahulu sebelum membuka operasi sekolah tersebut.\n\u201cKPM akan memastikan sekolah dibersihkan, perabot semua disediakan sebelum mula sesi persekolahan kelak untuk murid kembali ke sekolah.\n\u201cApabila sudah selamat dan bersedia, kita akan memulakan sesi persekolahan dengan secepat yang mungkin,\u201c katanya dalam sidang media selepas melawat pembukaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) PJS 1, Petaling Jaya, Selangor pada pagi ini.\nHadir sama ialah Guru Besar SJKT PJS 1, R. Rajaletchumy.\nSJKT PJS 1 merupakan sekolah baharu yang memulakan operasi secara rasmi pada hari ini dengan kehadiran sebanyak 20 orang murid dan sekolah tersebut merupakan SJKT yang ke-100 di negeri Selangor.\nPada masa yang sama, YB Lim Hui Ying mengulas bahawa bilangan murid bakal bertambah berikutan keadaan sekeliling yang mempunyai kepadatan penduduk.\n\u201cSekolah ini merupakan sebuah sekolah baharu yang mempunyai 24 bilik darjah. Walaupun hanya disertai oleh20 orang murid, tetapi kami percaya pada masa depan jumlah murid pasti akan bertambah. Kami ingin mengucapkan tahniah kepada guru besar dan guru. Semoga terus berusaha mengharumkan, membangunkan nama SJKT ini,\u201d kata beliau." "YBM Tengku Temenggong Kelantan Berkenan Menyempurnakan Perasmian Majlis Penutupan Program Suara dari Lembah Harapan 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKelantan \u2013Yang Berhormat Mulia Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Dato\u2019 Haji Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Yang Teramat Mulia Tengku Puan Temenggong Kelantan,\u00a0Tunku Puan Sri Dato\u2019 Hajah Noor Hayati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj berkenan menyempurnakan perasmian Majlis Penutupan Program Suara dari Lembah Harapan 2022, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia (JPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan pada 10 pagi ini di Dewan Besar, Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan Negari Kelantan.\nDalam majlis ini, ucapan alu-aluan telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, iaitu Ketua Pengarah DBP. Menurut beliau, program pada hari ini bertujuan untuk mendekatkan penghuni penjara kepada sastera yang diakui berupaya mendidik jiwa dan membina keinsanan manusia, sekali gus menyokong peranan penjara dalam memberikan program pemulihan yang bersesuaian kepada penghuni dan usaha Jabatan Penjara Malaysia untuk menjadikan institusi tersebut sebagai Pusat Pembangunan Ketamadunan Budaya Kemanusiaan.\nSemoga menerusi aktiviti yang diadakan bukan sahaja dapat melahirkan penghuni yang berbakat, bahkan sekali gus melahirkan harapan dalam diri penghuni untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa diri mereka boleh \u201cdibina semula\u201d dan dipulihkan. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada JPM dan JPN Kelantan atas kolaborasi penganjuran program ini. Semoga kolaborasi ini akan berterusan dan diperkukuhkan lagi dari semasa ke semasa demi mencapai hasrat melahirkan anak bangsa yang bermoral, beradab dan berkeperibadian yang tinggi.\nSementara itu, ucapan penghargaan pula telah disempurnakan oleh YBhg. Dato\u2019 Haji Abdul Aziz Abdul Razak, iaitu Timbalan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia (Sektor Keselamatan dan Koreksional). Beliau merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam usaha mencungkil bakat dan kebolehan penghuni penjara dalam seni ekspresi teater, puisi, sajak dan bacaan naskhah seiring dengan program pemulihan JPM.\nSukacitanya saya ingin merakamkan syabas dan tahniah kepada 36 daripada 42 institusi penjara Malaysia yang menyertai empat kategori pertandingan dalam Program Suara dari Lembah Harapan ini. Semua penyertaan dibuat secara rakaman di institusi masing-masing dan dihantar menggunakan aplikasi \u201cGoogle-drive\u201d kepada DBP dan diadili oleh juri profesional. Majlis Penjurian dan sesi pascanilai (Post-mortem) turut diadakan di Stor Teater, DBP dengan menjemput semua jurulatih yang terlibat dari 36 institusi yang mengambil bahagian. Usaha ini menggambarkan kesungguhan DBP memberikan peluang kepada jurulatih dari institusi penjara yang terlibat bagi mendapatkan ulasan juri serta ruang bagi penambahbaikan.\nJuara bagi Pertandingan Suara dari Lembah harapan 2022 bagi kategori Deklamasi Sajak telah dimenangi oleh Penjara Sungai Buloh dengan markah 317, bagi kategori Baca Naskhah pula dimenangi oleh SHG Keningau dengan markah 299, bagi kategori Lagu Puisi pula dimenangi oleh Penjara Kluang dengan markah 86 dan bagi kategori Teater 10 Minit pula dimenangi oleh Penjara Pengkalan Chepa yang memperoleh markah 79.\nMajlis pada pagi ini turut meraikan penghuni muda yang berumur 24 tahun ke bawah di seluruh institusi di bawah JPM yang telah berjaya mengetengahkan bakat dan hasil karya mereka dalam pertandingan yang dilaksanakan seperti teater, deklamasi sajak, nyanyian lagu puisi dan baca naskhah.\nProgram ini dinamai Suara dari Lembah Harapan sebagai simbolik kepada institusi penjara atau \u201clembah harapan\u201d, iaitu sebuah tempat yang menghimpunkan manusia yang pernah melakukan kesalahan dan kesilapan untuk dipulihkan dan diberikan harapan baharu untuk lahir sebagai manusia yang lebih berjiwa dan berakhlak terpuji." "SJKT PJS 1 Mula Beroperasi, 25 Murid Hadir ke Sekolah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) PJS 1 memulakan sesi persekolahan baharu dengan kehadiran sebanyak 25 orang murid.\nMenurut Timbalan Menteri Pendidikan, YB Lim Hui Ying, sekolah tersebut merupakan sekolah baharu, yakni berada dalam senarai SJKT ke-100 di negeri Selangor.\nKehadiran YB Lim Hui Ying disambut oleh Guru Besar SJKT PJS 1, R. Rajaletchumy bersama guru-guru, murid-murid dan ibu bapa.\nRajaletchumy berkata, beliau sangat bersyukur kerana dapat memberikan khidmat kepada sekolah yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang diimpikan oleh setiap ibu bapa.\n\u201cKami sebagai warga pendidik akan menggalas kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi merealisasikan kemenjadian murid.\n\u201cKita akan menjadikan mereka sebagai yang terbaik dari segi pendidikan, kokurikulum dan kemahiran,\u201c katanya ketika ditemui selepas lawatan Timbalan Menteri Pendidikan sempena pembukaan SJKT PJS 1, Petaling Jaya, Selangor pada hari ini.\nSementara itu, YB Lim Hui Ying turut menyampaikan cenderahati kepada murid dan turut melawat kelas di sekolah itu.\nTambah beliau, pihak sekolah perlu komited dalam memastikan hasrat KPM dapat dicapai walaupun sekolah berkenaan masih baharu.\n\u201cSekolah ini dilengkapi dengan sebanyak 24 bilik darjah dan kemudahan asas lain seperti kantin, makmal, tempat menunggu bas dan pondok pengawal.\n\u201cSetakat ini, terdapat hanya 25 murid yang memulakan sesi persekolahan baharu.\n\u201cWalau bagaimanapun, berikutan tempoh yang terlalu singkat, terdapat ibu bapa yang masih menunggu pertukaran anak-anak ke sekolah ini,\u201c ujarnya.\nMengulas lanjut berkaitan dengan jumlah murid di sekolah berkenaan, guru besar sekolah itu menjangkakan kehadiran dan kemasukan murid akan mencecah sehingga 100 murid dalam tempoh dua minggu ini." "Penyelidikan Berimpak Tinggi Tingkatkan Kedudukan Terbaik Universiti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Penyelidikan berimpak tinggi dapat membantu kedudukan universiti pada tahap yang lebih baik, sekali gus meningkatkan kelangsungan pendidikan masa hadapan khususnya menerusi penghasilan jurnal.\nUntuk meningkatkan keupayaan dan kepercayaan kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), kepekaan pengurusan terhadap permasalahan pelajar perlu dititikberatkan, selain kebajikan pelajar yang menjadi keutamaan.\n\u201cMonash University merupakan salah sebuah daripada 50 universiti terbaik di dunia.\nTitah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Canselor Monash University dari Melbourne, Australia, Peter Young AM KC di Sunway Resort Hotel and Spa sebelum berlangsungnya Istiadat Konvokesyen Monash University Malaysia 2023.\nTurut hadir bersama baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merangkap Pro Canselor UniMAP.\nKeberangkatan baginda disambut oleh Presiden merangkap Pro-Naib Canselor (Interim) Monash University Malaysia, Professor Matthew Gordon Nicholson, dan Ahli Majlis Universiti Geraldine Johns-Putra dan Naib Presiden (Pendidikan), Professor Beverley Joyce Webster." "Tiada Keberkatan dalam Amalan Riba\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada 24 Februari 2023, Perdana Menteri, Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan belanjawan bagi tahun 2023 yang merupakan belanjawan semakan yang baharu bagi tahun ini kerana belanjawan yang disediakan pada tahun lepas tidak terpakai kerana Parlimen telah dibubarkan sebelum belanjawan tersebut dapat diluluskan.\nAntara beberapa aspek belanjawan ini, yang bertemakan \u2018Membangunkan Malaysia Madani\u2019, termasuklah jumlahnya adalah paling besar dalam sejarah negara,iaitu sebanyak RM388.1 bilion. Daripada jumlah tersebut, lebih RM289.1 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan operasi, RM99 bilion untuk pembangunan dan RM2 bilion untuk kontingensi.\nTerdapat pelbagai peruntukan dalam belanjawan ini yang mencerminkan usaha kerajaan untuk mentadbir ekonomi negara serta terus memajukannya. Dalam kalangan kementerian yang mendapat peruntukan yang signifikan, Kementerian Pendidikan mendapat peruntukan terbesar, iaitu sebanyak RM55.2 bilion, diikuti oleh Kementerian Kesihatan sebanyak RM36.3 bilion, Kementerian Dalam Negeri sebanyak RM18.5 bilion dan disusuli oleh Kementerian Pertahanan sebanyak RM17.7 bilion.\nPeruntukan yang besar juga diberikan kepada Kementerian Pertanian untuk menggalakkan pelaburan dalam sektor ini dengan memberikan insentif, tanah, dana dan geran teknologi. Subsidi diberi kepada petani dalam sektor beras berjumlah RM1.6 bilion, di samping pemberian tunai sebanyak RM200 sebulan selama tiga bulan yang kesemuanya berjumlah RM228 juta.\nUntuk membiayai semua perbelanjaan ini, kerajaan mengunjurkan akan memperoleh pendapatan berjumlah RM291.5 bilion. Sebahagian besar adalah daripada cukai, iaitu lebih RM205.6 bilion yang merupakan 11.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pendapatan sumber bukan cukai dianggarkan berjumlah RM67 bilion dan kebanyakan adalah dalam bentuk dividen dari Petronas, iaitu kira-kira RM35 bilion. Kerajaan juga dijangka menerima peruntukan berjumlah RM3 bilion dari KWAP dan RM5 bilion dividen dari Bank Negara Malaysia.\nSudah tentu pendapatan daripada sumber percukaian sangat bergantung kepada kemampuan rakyat Malaysia serta syarikat-syarikat yang beroperasi di negara ini membayar cukai. Kemampuan mereka pula sangat bergantung pada prestasi ekonomi negara. Jika ekonomi negara berkembang dengan pesat, kemampuan mereka akan bertambah. Jika berlaku sebaliknya, kemampuan mereka akan menurun dan kutipan cukai kerajaan juga akan menurun.\nNamun begitu, ekonomi negara juga bergantung pada prestasi ekonomi dunia. Dalam hal ini, badan International Monetary Fund \u00a0(IMF) atau Tabung Kewangan Dunia melaporkan bahawa pertumbuhan ekonomi global akan masih berlaku pada tahun 2023, tetapi pada kadar yang lebih perlahan, iaitu 2.9 peratus berbanding dengan 3.2 peratus pada tahun 2022. Ramalan ini adalah berdasarkan andaian bahawa permintaan dalam ekonomi akan menjadi perlahan akibat beberapa faktor seperti konflik di Ukraine serta langkah Amerika Syarikat dan United Kingdom untuk menguncupkan ekonomi dalam usaha mereka menangani masalah inflasi yang agak serius di negara tersebut. Berdasarkan faktor di atas, ekonomi Malaysia dijangka berkembang sebanyak antara 4 dan 5 peratus sahaja.\nOleh sebab jumlah pendapatan negara adalah hanya RM291.5 bilion berbanding dengan perbelanjaan sebanyak RM388.1 bilion, hal ini bermakna belanjawan ini merupakan belanjawan defisit kerana saiz defisit adalah lebih kurang 5 peratus berbanding dengan KDNK. Hal ini juga bermakna kerajaan akan terpaksa berhutang sebanyak RM96.6 bilion untuk mendapatkan dana tambahan untuk membiayai perbelanjaan. Oleh itu, jumlah hutang terkumpul kerajaan akan meningkat lagi menjadikan jumlahnya RM1.2 trilion (atau lebih daripada 60% berbanding dengan KDNK negara). Malah jika dicampurkan tanggungan lain, jumlahnya adalah sebanyak RM1.5 trilion atau 81% berbanding dengan KDNK.\nSementara itu, bayaran faedah (kerana ini hampir kesemua hutang kerajaan adalah berbentuk riba) dianggarkan melebihi RM46 bilion atau 16% daripada jumlah pendapatan negara. Ini merupakan jumlah yang sangat besar, iaitu lebih besar daripada peruntukan untuk Kementerian Kesihatan, selain melebihi jumlah dividen yang diperoleh oleh kerajaan dari Petronas.\nWalaupun memang benar hutang kerajaan sekarang berjumlah lebih daripada RM 1 trilion itu akibat daripada tindakan berhutang oleh kerajaan sebelum ini, namun yang paling minima kita berharap boleh dilakukan oleh kerajaan sekarang ialah tidak menambahkan lagi beban untuk hutang sedia ada kerana jumlahnya sudah menjadi tersangat besar.\nAkan tetapi, apa-apa yang boleh kita andaikan ialah kerajaan perlu berasa bimbang jika perbelanjaan kerajaan dikurangkan daripada terus menambah hutang yang sedia ada. Pada masa yang sama, pengurangan kepada perbelanjaan kerajaan mungkin akan mengakibatkan ekonomi akan menguncup atau menjadi lebih perlahan. Walaupun situasi ini adalah baik untuk menjamin suasana ekonomi yang lebih stabil dalam tempoh jangka panjang, namun pada masa yang sama boleh menimbulkan reaksi negatif daripada rakyat dan boleh menjejaskan populariti kerajaan dalam kalangan pengundi.\nWalau bagaimanapun, kita perlu mengingatkan pemimpin dan rakyat Malaysia tentang pesanan Allah SWT dalam al- Quran (surah al-Baqarah ayat 276-279) apabila Allah SWT telah mengisytiharkan perang kepada pengamal riba. Di samping itu, Allah SWT juga menyebut bahawa Dia akan menarik keberkatan daripada amalan riba dan menambah keberkatan kepada yang bersedekah. Sebagai rumusan, keadaan hutang negara yang semakin tinggi ini serta keadaan kita yang semakin terjebak ke dalam perangkap riba seharusnya membuatkan kita berasa bimbang tentang perkara yang akan berlaku terhadap negara pada masa akan datang.\nProfesor Dr. Mohd Nazari Ismail, Profesor Kehormat di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya." "Program MDK Jadi Pilihan Aktiviti Minggu Pertama Persekolahan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSentul \u2013 Program Majalah Dalam Kelas (MDK) menjadi pilihan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Nilam, Kuala Lumpur sebagai satu daripada aktiviti minggu pertama sesi persekolahan 2023/2024.\nProgram tersebut dianjurkan oleh pihak sekolah dengan kerjasama Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka, sejajar dengan surat pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia yang mengarahkan agar tiada pembelajaran akademik diadakan sepanjang minggu pertama persekolahan.\n\u201cProgram didik hibur seperti Program MDK ini sangat sesuai diadakan kerana menerapkan proses pembelajaran secara tidak langsung atau indirect learning yang boleh membentuk momentum dalam kalangan murid pada awal persekolahan.\n\u201cJelas, arahan KPM yang terbaharu ini bertepatan dengan konsep transformasi pendidikan kebangsaan yang tidak menumpukan kepada pemerkasaan akademik semata-mata,\u201d ujar Encik Azrul Zai Zainul Abidin selaku Guru Penyelaras Pembukaan Sekolah 2023/2024 SK Seri Nilam.\nSebanyak 130 orang murid tahun enam dan enam orang guru telah terlibat untuk menjayakan Program MDK yang diadakan selama tiga jam di Dewan Terbuka, SK Seri Nilam, pada hari ini.\nAntara aktiviti yang dijalankan termasuklah taklimat majalah daripada sidang editor Dewan Pelajar, dan aktiviti secara dalam kumpulan seperti teka simpulan bahasa dan peribahasa, menghasilkan peta minda berdasarkan rencana majalah serta kuiz Menara Belon." "Sinar Baharu Rundingan Damai di Selatan Thailand\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBesar harapan semua pihak, sama ada rakyat atau pemimpin antara kedua-dua buah negara bersempadan, iaitu Malaysia-Thailand untuk menamatkan konflik antara puak pemisah Melayu-Islam dengan kerajaan Thailand yang telah memakan masa berpuluh-puluh tahun lamanya.\nHal ini penting untuk mencapai keamanan dan menyelesaikan konflik puak pemisah di wilayah Selatan Thailand yang majoriti penduduknya Islam. Sejak tercetusnya konflik pada tahun 2004, lebih 7300 jiwa telah terkorban dalam pertempuran antara pasukan Thailand dengan puak pemisah. Sementara itu, 13 500 orang tercedera dalam kes keganasan yang berlaku di serata wilayah berkenaan, menurut Deep South Watch sebuah badan pemikir tempatan.\nPuak pemisah telah berjuang menuntut empat buah wilayah, iaitu Narathiwat, Yala, Pattani dan Sanggora yang majoritinya penduduk Melayu Muslim. Wilayah ini adalah sebahagian daripada kerajaan Kesultanan Pattani yang diserahkan kepada Thailand dalam Perjanjian Bangkok 1909 oleh British.\nPerdana Menteri Malaysia, Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim sewaktu dalam lawatannya ke Thailand baru-baru ini berjanji akan menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan konflik di Selatan Thailand.\n\u201cSaya hadir ke sini dengan mesej yang amat jelas bahawa kerajaan Malaysia tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk keganasan bagi menyelesaikan apa-apa jua konflik. Kami akan menggunakan hak kami sebagai rakan dan keluarga bagi kedua-dua negara, iaitu Malaysia dan Thailand, serta ASEAN, bagi meluahkan kebimbangan kami, dan pada masa yang sama kami sedar bahawa isu di Selatan Thailand merupakan isu dalam negara Thailand,\u201d jelas beliau.\nTegas beliau, adalah menjadi kewajipan Malaysia sebagai jiran dan keluarga yang baik untuk melakukan apa-apa sahaja yang diperlukan untuk memudahkan proses perdamaian. Oleh sebab itulah Malaysia bersetuju untuk melantik fasilitator yang boleh diterima, iaitu seorang pesara ketua angkatan tentera untuk membantu. Perdana Menteri memaklumkan bahawa beliau dan Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-Ocha telah membincangkan isu tersebut dalam usaha mencapai keamanan yang berkekalan bagi kedua-dua negara.\nBeliau berharap dengan pelantikan mantan Ketua Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin sebagai fasilitator untuk proses tersebut dan menyatakan tugas Malaysia sebagai tetangga dan keluarga yang baik untuk melakukan apa-apa yang diperlukan untuk proses tersebut. Prayuth juga berikrar bahawa kerjasama ini akan membantu mengatasi masalah di daerah yang bergolak, khususnya pembangunan ekonomi yang lebih besar menerusi peningkatan jalinan hubungan antara kedua-dua negara.\nPenganalisis hubungan antarabangsa juga berharap di bawah kepimpinan Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim, situasi ini akan memberikan nafas baharu kepada usaha rundingan damai yang dijalankan antara kerajaan Thailand dengan kumpulan pemisah di Selatan Thai dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai perantara, terutamanya kerana minat mendalam beliau terhadap isu dan wilayah berkenaan yang berkongsi sempadan dengan Malaysia.\n\u201cSebab itulah kami telah bersetuju untuk melantik fasilitator yang boleh diterima semua daripada mantan panglima angkatan tentera yang telah bersara, yang dikenali untuk melaksanakan tugas dan mencari jalan membantu usaha perdamaian,\u201d tegas Perdana Menteri. Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim merujuk kepada satu daripada inisiatif dasar luar negara pertamanya sebagai Perdana Menteri dengan menukar fasilitator Malaysia bagi rundingan damai yang disertai wakil kerajaan Thailand dan pihak pemberontak yang diketuai Barisan Revolusi Nasional (BRN). Beliau menggantikan mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator rundingan damai itu dengan Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin yang merupakan mantan Panglima Tentera Darat Malaysia. BRN merupakan puak pemisah paling berpengaruh di wilayah tersebut yang berjuang untuk mewujudkan sebuah negara merdeka bagi orang Melayu-Islam yang membentuk majoriti di wilayah selatan itu.\nAntara gerakan puak pemisah yang lain ialah Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (PULO), Barisan Islam Pembebasan Pattani (BIPP), Gerakan Islam Pattani (GIP) dan beberapa lagi pertubuhan kecil.\n\u201cSaya secara peribadi dikenali oleh banyak rakan-rakan di wilayah selatan, dan kita akan berusaha menangani defisit kepercayaan ini, serta kebimbangan mengenai isu agama dan budaya,\u201d jelas Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim. Prayuth yang menerajui sesi taklimat bersama-sama Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim turut mengesahkan mengenai kerjasama kedua-dua negara dalam isu Selatan Thailand menurut satu kenyataan bersama. Prayuth telah bersetuju untuk memperkukuh jalinan kerjasama dalam pengurusan keselamatan sempadan bagi memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan dan aktiviti haram lain.\nKedua-dua pemimpin berkenaan turut mengulangi mengenai peri pentingnya mempromosikan keamanan dan keselamatan di kawasan sempadan kedua-dua negara dengan mempertingkatkan lagi pembangunan sosioekonomi yang mampan, seimbang dan inklusif di wilayah-wilayah sempadan. Dalam laporan Bernama, Profesor di National War College di Washington (AS) yang juga Profesor di Georgetown University, Dr. Zachary Abuza berkata, Perdana Menteri telah mengambil langkah bijak dengan melantik bekas panglima tentera Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin sebagai fasilitator baharu. Sebagai bekas ketua angkatan tentera, tentera Thailand akan lebih selesa berbincang dengan tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.\nDr. Zachary Abuza menyifatkan bahawa Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim sangat mengambil berat tentang konflik di Selatan Thailand dan sentiasa mahu melakukan perkara yang betul untuk menyelesaikan konflik itu. Namun begitu, terpulanglah kepada kerajaan Thailand sama ada bersetuju memberikan autonomi atau pemerintahan sendiri di selatan negara itu, terutamanya selepas berlakunya rampasan kuasa oleh tentera pada tahun 2014, memandangkan kini pemusatan lebih kepada aspek politik negara itu.\nMenurut media yang sama, Kerajaan Thailand dan BRN sedang merangka draf perjanjian termasuklah gencatan senjata agar rundingan damai dapat diteruskan dengan lebih lanjut. Dalam satu kenyataan, BRN berkata draf itu mengandungi syarat seperti gencatan senjata dan jaminan keselamatan dan kekebalan wakil BRN yang akan kembali ke tanah air untuk mengadakan konsultasi dengan penduduk tempatan.\nKetua Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin menegaskan bahawa agama bukan punca kepada keganasan di Selatan Thailand.\n\u201cKeganasan yang berlaku di Selatan Thailand berlaku berikutan tindakan radikal segelintir individu yang mahu melakukan keganasan atas nama agama,\u201d jelas beliau ketika perjumpaan dengan wakil-wakil penganut agama Buddha dari empat buah wilayah di Selatan Thailand di Wat Chang Hai di Khok Pho, Pattani. Beliau menyatakan bahawa Malaysia sentiasa komited dalam memudah cara kerajaan Thailand dan masyarakat Pattani di wilayah sempadan Selatan Thailand melalui meja rundingan.\nBeliau dilaporkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Jeneral Wanlop Ruksanaoh yang mengetuai Panel Dialog Keamanan bagi Wilayah Sempadan Selatan Thailand (PEDP).\n\u201cWalaupun konflik di Selatan Thailand merupakan isu dalaman Thailand, namun Malaysia sebagai jiran yang mempunyai hubungan erat mahu memudah cara dan membantu menyelesaikan konflik itu,\u201d jelas beliau. Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin turut menyarankan bahawa semua pihak menyokong proses rundingan damai antara pihak kerajaan Thailand dengan BRN yang bertujuan untuk mencari penyelesaian bagi menamatkan konflik.\nProses Dialog Damai Selatan Thailand antara kerajaan Thailand dengan kumpulan pejuang kini memasuki tahun ke-10. Proses itu bermula apabila bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra meminta Malaysia menjadi orang tengah dalam menyelesaikan konflik di Selatan Thailand. Berikutan itu, satu Konsensus Am (General Consensus) antara kerajaan Thailand dengan BRN termeterai pada 28 Februari 2013.\nMenurut laporan media tempatan, Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menjelaskan bahawa Malaysia akan menyerahkan kebijaksanaan kedua-dua pemimpin tersebut dalam pertemuan empat mata bagi membincangkan perkara yang akan menjadi kepentingan bersama dan strategik bagi kedua-dua pihak. Beliau berpandangan demikian sebagai mengulas harapan besar banyak pihak untuk melihat Malaysia yang berperanan sebagai fasilitator bagi proses dialog damai itu, terutamanya peranan Perdana Menteri sendiri untuk membantu dalam memangkinkan proses rundingan damai di Selatan Thailand itu." "RUU Warga Emas Utamakan Isu Penderaan dan Pengabaian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas yang bakal dibentangkan pada tahun 2024 akan mengutamakan isu penderaan dan pengabaian dalam kalangan warga emas.\nSelain itu, isu perlindungan sosial dan kewangan, serta isu pengurusan harta warga emas juga menjadi skop tumpuan dalam penggubalan RUU tersebut, seperti yang dijelaskan oleh Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Universiti Putra Malaysia, Profesor Ir. Dr. Siti Anom Ahmad melalui rancangan Malaysia Petang Ini anjuran Bernama TV, baru-baru ini.\n\u201cPengabaian dan penderaan warga emas dilakukan tanpa ada sebarang tindakan atau akta khas yang boleh diguna pakai.\n\u201cAkta sedia ada sekarang, iaitu Akta Keganasan Rumahtangga, hanya memfokuskan keganasan fizikal, tetapi kita tahu bahawa penderaan terhadap warga emas juga merangkumi penderaan kewangan, emosi dan psikologi,\u201d ujar beliau.\nMenurutnya lagi, ketiadaan peruntukan undang-undang yang membentuk perlindungan bagi warga emas menjadi punca utama berlakunya kes pengabaian dan penderaan ini.\nBeliau menegaskan bahawa penggubalan RUU Warga Emas ini merupakan satu langkah yang sangat positif bagi negara, lebih-lebih lagi apabila negara sekarang berada dalam fasa persediaan menuju negara tua menjelang tahun 2030.\nSementara itu, Profesor Ir. Dr. Siti Anom juga turut memaklumkan bahawa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengundang pihak MyAgeing sebagai ahli jawatankuasa penggubal RUU tersebut.\n\u201cSaya percaya, jawatankuasa inilah yang akan membincangkan secara holistik dan komprehensif tentang perkara yang perlu dimasukkan dalam RUU Warga Emas ini,\u201d kata beliau.\nPada akhir rancangan, beliau sempat menjelaskan beberapa inisiatif yang dilaksanakan oleh MyAgeing untuk meningkatkan sistem sokongan terhadap warga emas seperti mengadakan program yang berkaitan dengan kewangan, kesihatan, literasi digital dan pendidikan sepanjang hayat.\nKredit foto sorotan: Unsplash/Hunt Han" "Sumpah dan Taat Setia Ahli Dewan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBersempena dengan Majlis Angkat Sumpah Senator yang diadakan di Dewan Negara pada 20 Mac 2023, sebanyak 16 orang Yang Berhormat Ahli Dewan Negara yang baharu telah melafazkan taat setia dan sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, YB Senator Tan Sri Dato\u2019 Seri Utama Dr. Rais Yatim.\nMereka ialah Yang Berhormat Senator Dr. Lingeshwaran a/l Dato\u2019 Seri R. Arunasalam; Yang Berhormat Senator Tuan Amir bin Ghazali; Yang Berhormat Senator Tuan Haji Hussin bin Ismail; Yang Berhormat Senator Tuan Haji Abdul Nasir bin Haji Idris; Yang Berhormat Senator Tuan Musoddak bin Ahmad; Yang Berhormat Senator Dato\u2019 Sri Anifah bin Aman @ Haniff Amman; Yang Berhormat Senator Tuan Isaiah a/l D Jacob; Yang Berhormat Senator Tuan Manolan bin Mohamad; Yang Berhormat Senator Tan Sri Dato\u2019 Low Kian Chuan; YB Senator Prof. Datuk Seri Dr. Awang bin Sariyan; Yang Berhormat Senator Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli; Yang Berhormat Senator Dato\u2019 Sivaraj a/l Chandran; Yang Berhormat Senator Tuan Mohd Hasbie bin Muda; Yang Berhormat Senator Tuan Abun Sui Anyit; Yang Berhormat Senator Puan Noorita binti Sual; dan Yang Berhormat Senator Tuan Roderick Wong Siew Lead.\nMenurut Yang Dipertua Dewan Negara, YB Senator Tan Sri Dato\u2019 Seri Utama Dr. Rais Yatim,\nDengan kemasukan Ahli-ahli Yang Berhormat sebanyak 16 orang ini, Dewan Negara kini mempunyai 64 orang ahli dan adalah diharapkan perjuangan kita sebagai anggota Dewan Negara benar-benar dapat kita laksanakan mengikut lunas dan Perlembagaan.\nYang berikut merupakan ucapan Yang Dipertua Dewan Negara, YB Senator Tan Sri Dato\u2019 Seri Utama Dr. Rais Yatim. i. Setiap Ahli harus gemar dan kuat membaca; ii. Meneliti setiap isu dan rang undang-undang; iii. Menyalurkan buah fikiran demi kebaikan Malaysia; dan iv. \u00a0Tanggungjawab membina negara bangsa." "Waspada Sindiket Penipuan Pekerjaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSukar mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang lumayan menjadi punca utama ada dalam kalangan rakyat di negara ini yang mengambil keputusan untuk mencari peluang pekerjaan di luar negara. Jika keputusan itu tepat dan pekerjaan yang diperoleh sah dari segi undang-undang di negara yang terlibat, hal itu sudah pastinya menggembirakan apatah lagi hajat untuk mendapatkan gaji yang lumayan menjadi kenyataan.\nWalau bagaimanapun, tidak semua pencari kerja yang menanam impian bekerja di luar negara dengan gaji yang lumayan bernasib baik dengan benar-benar memperoleh pekerjaan yang dijanjikan. Hal ini dikatakan demikian kerana, ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan. Lebih malang apabila mereka terjerat dalam sindiket penipuan pekerjaan yang menjerumuskan mereka ke kancah jenayah yang lain.\nKisah menakutkan yang diceritakan oleh seorang mangsa sindiket penipuan pekerjaan, iaitu rakyat Malaysia yang diseludup ke Myanmar, namun berjaya melarikan diri membuktikan bahawa sindiket penipuan pekerjaan ini amat membimbangkan, perlu dibendung, dan seharusnya membuka mata banyak pihak untuk lebih berhati-hati dalam membuat keputusan untuk bekerja di luar negara.\nRemaja berusia 20 tahun itu menceritakan bagaimana dirinya melalui penderitaan selama empat bulan dengan dipaksa bekerja di sebuah bangunan empat tingkat yang dipagari dengan tembok berkawat besi dengan hanya ada satu sahaja laluan keluar dan masuk\u00a0\u00a0ke bangunan tersebut. Remaja tersebut bersama-sama 15 orang lagi warganegara Malaysia yang berusia antara 18 tahun hingga 26 tahun turut dikawal selama 24 jam oleh kumpulan lelaki yang lengkap bersenjata.\nPada awalnya kami dijanjikan tawaran menarik untuk bekerja di Singapura sebagai pengemas hotel. Walau bagaimanapun, hal itu tidak berlaku apabila kami menaiki kapal terbang dari Johor ke Bangkok dan terus dibawa ke sempadan Thailand-Myanmar.\nTambah remaja tersebut, mereka dipaksa bekerja sebagai penipu secara dalam talian \u00a0(scammer) untuk menjerat mangsa dengan tumpuan mangsa dari negara Eropah. Mereka direkrut dengan cara menawarkan pelbagai barangan dan hadiah dengan harga yang murah sebelum meminta mangsa menekan pautan palsu.\u00a0Selepas mangsa mengikut arahan yang diberikan, mereka akan menggodam akaun mangsa dengan memindahkan wang mangsa ke akaun sindiket.\nSepanjang empat bulan menjadi tawanan sindiket tersebut, remaja berkenaan turut menceritakan bagaimana mereka dipukul dan dipaksa makan makanan tidak halal seperti babi dan tikus, selain dipaksa bekerja lebih daripada 15 jam. Bagi mangsa wanita pula, mereka dijadikan hamba seks dan turut dipaksa menggodam akaun secara dalam talian.\nWalau bagaimanapun, penderitaan remaja ini berakhir apabila dirinya dan lima orang lagi rakyat Malaysia yang berjaya diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan pada Disember 2022 berjaya \u00a0dibawa pulang dengan bantuan Kementerian Luar Negeri (KLN).\nHal yang demikian juga dengan kisah dua orang remaja berusia awal 20-an yang kononnya mendapat tawaran pekerjaan dengan gaji yang lumayan di Singapura daripada seorang lelaki yang dikenali menerusi media sosial. Hal itu menjerat remaja tersebut apabila mereka tidak dihantar ke Singapura, sebaliknya ke sempadan Thailand-Myanmar. Setibanya di sana, pasport kedua-dua remaja tersebut dirampas dan mereka di bawa ke Mae Sot dan diseludup melalui jalan tikus dan ditempatkan di KK Garden Myanmar dan dipaksa bekerja sebagai penipu secara dalam talian.\nNasib yang baik ternyata menyebelahi kedua-dua remaja ini apabila mereka dilepaskan oleh kumpulan sindiket tersebut selepas \u201cmenghidu\u201d bahawa gerak-geri mereka berjaya dikesan oleh pihak berkuasa.\nPada hakikatnya, kes yang dipaparkan bukanlah kes pertama membabitkan sindiket penipuan pekerjaan yang didedahkan oleh media di negara ini. Sudah banyak kes demi kes yang menggerunkan dilaporkan dan seharusnya menjadi pengajaran besar untuk rakyat Malaysia agar lebih waspada untuk mempercayai tawaran kerja di luar negara yang menawarkan gaji mencecah lima angka.\n\u00a0\nFaktor Terjebak Sindiket Penipuan Pekerjaan\u00a0\nDaripada perkongsian pengalaman mangsa, kesemua mereka yang terlibat mengambil keputusan untuk bekerja di luar negara selepas tertarik dengan tawaran yang diberikan, iaitu gaji lumayan yang mencecah puluhan ribu dan pelbagai kemudahan yang menarik, antaranya termasuklah disediakan tempat tinggal yang selesa, disediakan makan dan minum, tiket penerbangan percuma, kemudahan cuti dan perubatan yang menarik.\nMenurut Duta Malaysia ke Kemboja, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim,\nTawaran kerja dengan gaji lumayan yang mencecah antara AS$2000 hingga AS$4000 (RM9000-18 000), selain tidak cakna dengan berita semasa menjadi antara punca ratusan rakyat Malaysia terjerat dengan sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja.\nTambahnya lagi, tawaran berkenaan biasanya disebarkan melalui media sosial seperti Facebook, Telegram dan WhatsApp. Beliau turut membahagikan mangsa penipuan pekerjaan kepada dua kategori, iaitu yang pertama yang mempunyai sijil seperti diploma, manakala yang kedua ialah golongan muda yang berusia belasan tahun hingga mereka yang berumur lingkungan 30-an dan tidak memiliki sebarang kelayakan pendidikan.\n\u201cKategori pertama ini akan sampai di Kemboja lengkap dengan surat tawaran kerja seolah-olah daripada syarikat sebenar, tetapi selepas tiba di negara berkenaan mereka akan dipaksa bekerja dengan sindiket. Walau bagaimanapun, kategori ini sedikit sahaja bilangan mangsanya, iaitu membabitkan satu atau dua kes\u201d.\nTambahnya lagi, kategori kedua melibatkan mangsa yang paling ramai dan biasanya mereka ini tidak berpelajaran atau yang terdesak kerana berhadapan dengan masalah ekonomi, masalah keluarga dan sebagainya. \u201cKita nampak trend ini meningkat selepas pandemik COVID-19, sebab ramai yang hilang pekerjaan maka sindiket mengambil kesempatan,\u201c katanya dalam temu bual bersama Bernama.\nPada September 2022, kerajaan menerusi KLN berjaya menyelamatkan dan membawa pulang sebanyak 15 orang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja. Kejayaan itu menjadi tumpuan media tempatan dengan pelbagai pengalaman hitam yang dilalui oleh mangsa yang terlibat turut didedahkan kepada umum.\nUsaha tersebut bukanlah usaha pertama yang dilakukan oleh kerajaan dalam menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi sindiket penipuan pekerjaan. Hal ini dikatakan demikian kerana hingga 21 September 2022, sebanyak 301 kes sindiket penipuan pekerjaan dilaporkan membabitkan empat buah negara, iaitu Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 168 orang mangsa telah berjaya diselamatkan dan di bawa pulang ke tanah air. Sementara itu, sebanyak 34 orang mangsa lagi masih ditahan di depoh tahanan imigresen, manakala baki sebanyak 99 orang masih dikesan oleh pihak berkuasa negara berkenaan.\nMenurut Menteri KLN, Dato\u2019 Sri Saifuddin Abdullah, KLN amat prihatin dan memandang serius mengenai nasib warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara. Beliau turut mengadakan perbincangan secara maya bersama-sama Duta/Kuasa Usaha Sementara Malaysia di Myanmar, Kemboja, Laos, dan Thailand bagi memperincikan langkah-langkah yang lebih lanjut dalam menggiatkan usaha menyelamatkan warganegara Malaysia yang terbabit.\n\u00a0\nSemak dan Rujuk Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Tenaga Kerja\nSetiap tawaran pekerjaan khususnya di luar negara yang menawarkan gaji lumayan yang mencecah puluhan ribu perlu disemak terlebih dahulu kesahihannya dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).\nTimbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud, berkata langkah itu dapat membantu untuk mengesahkan kesahihan ejen pekerjaan yang membuat tawaran pekerjaan bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa penipuan dan pemerdagangan manusia.\n\u201cTawaran gaji yang lumayan serta meragukan dan membabitkan syarikat yang tak dikenali atau kukuh, kita perlu selidik dengan teliti terlebih dahulu latar belakang penawar pekerjaan ini. Rakyat negara ini perlu berhati-hati. Isu penipuan pekerjaan luar negara membabitkan sindiket yang menyasarkan rakyat negara ini kini juga semakin membimbangkan,\u201c katanya.\nKeseriusan kerajaan menangani isu ini mengakibatkan negara dianggarkan terpaksa menanggung kerugian sehingga RM500 juta pada setiap tahun. Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, paling menyedihkan apabila \u00a0duit simpanan mangsa yang terpedaya turut tergadai. Maka itu, rakyat Malaysia diingatkan supaya berhati-hati dengan sindiket penipuan pekerjaan ke luar negara." "Agenda Pembinaan Negara Belum Selesai- Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSenator Datuk Seri Dr. Awang telah mengambil bahagian dalam Sesi Perbahasan Usul Menjunjung Kasih kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) menerusi titah ucapan baginda semasa pembukaan penggal ke-15 Parlimen Malaysia.\nYang berikut merupakan ucapan Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan: Emas Perak hiasan wanita,\n\u00a0 \u00a0 Ditata rapi di hujung tanjung;\nNegara kita tanggungjawab kita,\n\u00a0 \u00a0 Di sini bumi dipijak di sini langit dijunjung.\nSaya mohon menyokong usul menjunjung kasih kepada titah diraja Yang di-Pertuan\u00a0 Agong. Demikianlah usul daripada Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan semasa sesi pembukaan penggal ke-15 Parlimen Malaysia khususnya di Dewan Negara.\nSumber Video: Parlimen Malaysia" "Merapatkan Jurang Digital demi Pendidikan Berkualiti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSemenjak penularan pandemik COVID-19 kira-kira tiga tahun lalu, kaedah penyampaian dalam aspek pendidikan telah berubah, iaitu daripada kelas fizikal kepada pembelajaran secara dalam talian. Dalam konteks ini, sama seperti negeri lain di Malaysia, Sabah juga menerima pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian. Laporan Perbelanjaan Isi Rumah pada tahun 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan bahawa Sabah merupakan antara negeri termiskin di Malaysia dengan purata perbelanjaan penggunaan isi rumah yang terendah berbanding dengan negeri lain.\nSelain itu, kajian yang sama juga mendedahkan bahawa peratus kemiskinan mutlak di Sabah adalah yang tertinggi di Malaysia, iaitu sebanyak 19.5%. Hal ini secara tidak langsung akan memberikan kesan kepada akses pendidikan untuk golongan muda. Sebelum ini, antara masalah yang dihadapi oleh pelajar di Sabah melibatkan capaian Internet, bilangan guru yang tidak mencukupi dan kekurangan kemudahan di sekolah. Kedatangan wabak COVID-19 pada ketika itu telah memburukkan lagi keadaan.\nTerdapat beberapa inisiatif yang diambil oleh kerajaan untuk meningkatkan lagi capaian Internet bagi memudahkan murid untuk mengikuti aspek pengetahuan digital. Sebagai contoh, Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) 2019-2023 menetapkan beberapa sasaran seperti mencapai sebanyak 20% ketersediaan Internet pada sub-premis dan kawasan luar bandar dan sebanyak 70% rangkaian gentian termasuk di sekolah-sekolah menjelang tahun 2022. Idea yang sama turut ditegaskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, di bawah 11 anjakan transformasi sistem yang dicadangkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), iaitu menyediakan akses Internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui program 1BestariNet untuk 10 000 buah sekolah. Hal ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2016-2030 yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu Matlamat 4 yang melibatkan kualiti pendidikan.\nAkan tetapi, Sabah kelihatan belum bersedia sepenuhnya untuk menerima perubahan drastik daripada kelas fizikal kepada pembelajaran dalam talian dalam tempoh yang singkat. Kesan daripada penularan COVID-19 yang membawa kepada penutupan sekolah beberapa tahun lalu, menunjukkan bahawa wujudnya jurang perbezaan yang besar dari segi pembelajaran atas talian atau \u201cpembahagian digital\u201c dalam kalangan negeri di Malaysia.\nKini kita telah berada dalam tahun 2023, namun inisiatif itu masih belum mencapai matlamatnya dan beberapa buah sekolah di kawasan pedalaman di Sabah masih belum mendapat capaian Internet seperti yang dijanjikan. Sebagai contoh, kadar penembusan jalur lebar bagi setiap 100 orang penduduk mengikut negeri menunjukkan bahawa semua negeri di Semenanjung Malaysia dan Sarawak mempunyai kadar penembusan jalur lebar lebih 100 peratus dan ke atas kecuali Sabah dengan jumlah 81.2%, yang disifatkan sebagai antara yang terendah di Malaysia.\n\u00a0Realiti Jurang Digital di Sabah\nSemasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dikuatkuasakan pada Mac 2020, sebanyak 52% orang pelajar di Sabah yang tinggal kawasan luar bandar dilaporkan tidak mempunyai akses Internet. Situasi ini tidak termasuk komputer riba dan capaian Internet yang merupakan satu keperluan seperti jaringan Wifi dan dianggap mewah untuk isi rumah berpendapatan B40. Bagi sesetengah pelajar, mereka perlu berkongsi telefon pintar dengan ahli keluarga lain, yang turut menjalani pembelajaran secara dalam talian. Dalam tempoh jangka masa panjang, isu ini agak membimbangkan kerana boleh menghalang minat murid untuk terus belajar.\nDi beberapa buah kawasan di Sabah seperti Beluran, Tambunan, Keningau, Sook, Tongod, Nabawan, Kuala Penyu, dan Sipitang, masalah capaian Internet didapati semakin memburuk kerana semua daerah ini terletak di kawasan pedalaman yang memerlukan sekitar tiga hingga empat jam perjalanan tambahan dari bandar terdekat. Selain itu, hanya beberapa buah syarikat penyedia rangkaian telekomunikasi tempatan sahaja yang dapat menembusi kawasan-kawasan ini. Oleh hal yang demikian, situasi ini dikatakan memberikan kesan negatif terhadap proses pembelajaran pelajar secara harmoni. Sebahagian daripada guru-guru telah mengambil inisiatif dengan menghantar sendiri bahan-bahan pengajaran walaupun dengan keadaan bentuk muka bumi yang agak berisiko kepada pelajar mereka. Menyedari isu kekurangan capaian Internet di sesetengah kawasan di luar bandar, para guru diberi kebenaran untuk melakukan perjalanan untuk mengedarkan bahan pengajaran, menghantar dan membawanya kembali ke kawasan luar bandar semasa PKP lalu.\nDengan keadaan COVID-19 yang masih belum pulih sepenuhnya ketika fasa PKP sebelum ini, sesi pembelajaran kelas secara dalam talian merupakan satu-satunya kaedah untuk memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam pembelajaran mereka. Bagi pelajar yang tinggal di kawasan luar bandar, mereka kadang kala tidak dapat mengikuti kelas dan sering kali mereka \u201chilang\u201c semasa kelas berlangsung kerana capaian Internet yang lemah seperti yang berlaku di Semporna dan Kudat. Hal ini disebabkan oleh keadaan geografi dan bentuk muka bumi di Sabah. Sebagai contoh, beberapa buah sekolah di daerah ini terletak di pulau yang agak jauh dari menara telekomunikasi seperti\u00a0 SK Pulau\u00a0 Mabul, SK Balambangan Banggi, SK Pulau Larapan, SK Sisipan (sekolah rendah) dan SMK Bum-Bum (sekolah menengah). Selain itu, hampir semua sekolah seperti yang disenaraikan tidak mempunyai kemudahan bekalan elektrik yang sempurna dan sangat bergantung pada penjana kuasa untuk menjana elektrik.\nKes Veveonah Mosibin, seorang pelajar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kampung Sapatalang, Pitas, yang perlu berkhemah di atas pokok selama sehari dan terpaksa menghadapi segerombolan lebah untuk mendapatkan capaian Internet yang lebih baik menjadi tajuk utama di beberapa saluran berita di dalam dan luar negara. Turut dilaporkan juga tentang lapan orang pelajar yang cedera selepas terjatuh dari jambatan gantung pada waktu malam ketika mereka cuba mendapatkan capaian Internet yang lebih baik di Kampung Gusi, Ranau.\u00a0 Dalam contoh lain, sesetengah pelajar\u00a0 juga perlu mendaki bukit selama 30-40 minit untuk mendapatkan capaian Internet yang lebih baik di Kampung Tilis, Tenom. Semua contoh ini menunjukkan bahawa satu daripada isu utama di Sabah ialah pastinya capaian Internet yang lemah di segenap pelosok negeri ini.\nMenyedari hakikat ini, pandemik COVID-19 yang berlaku tidak lama dahulu boleh dikatakan sebagai bertindak sebagai pemangkin dan menunjukkan beberapa kelemahan dalam sistem pendidikan di Sabah yang perlu diatasi dengan segera. Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu bekerjasama dalam mencari kata sepakat untuk mempertingkatkan proses pembangunan capaian Internet di Sabah. Selain menyediakan pakej rangsangan kepada rakyat, terdapat beberapa keperluan untuk mempercepat pembinaan kemudahan Internet bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan pelajar. Inisiatif kerajaan seperti 1BestariNet dan NFCP tidak seharusnya kekal sebagai inisiatif, sebaliknya perlu diperluas bagi memastikan semua pelajar di kawasan luar bandar di Sabah mendapat akses yang sama seperti rakan mereka yang tinggal di kawasan bandar dan di Semenanjung Malaysia.\nPenulis, Penyelidik di Jabatan Ekonomi dan Statistik Gunaan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi (FPE) dan Penyelidik di Institut Pengajian Termaju (IAS), Universiti Malaya." "SMK Jitra, Kedah Rangkul Kejuaraan Bahas Ala Parlimen Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTerengganu \u2013 SMK Jitra, Kedah buat pertama kalinya merangkul kejuaraan Pertandingan Bahas Ala Parlimen Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di negeri Terengganu. Pertandingan yang diadakan bermula pada 26 September 2022 hingga 29 September 2022 itu melibatkan 14 buah negeri yang menghantar penyertaan secara bersemuka buat pertama kalinya selepas berakhirnya pandemik COVID-19 sangat memberikan keterujaan kepada semua peserta bahas.\n\u00a0\nPertandingan ini anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan dikelolakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu selaku tuan rumah. Melalui pertandingan ini, pihak KPM dapat mencungkil bakat bertutur dan berhujah secara spontan dalam kalangan anak remaja. Pihak KPM juga begitu komited untuk melahirkan anak-anak remaja yang bijak berhujah semenjak bangku sekolah lagi. Justeru, pertandingan seperti inilah yang memberikan peluang kepada generasi hari ini untuk menunjukkan bakat yang ada.\nAdik Nurisa Farina Iskandar, selaku pembahas ketiga dari SMK Jitra telah dinobatkan sebagai pembahas terbaik dalam pertandingan itu. Pertandingan ini diadili oleh hakim dari seluruh Malaysia. Pertandingan ini pula telah dirasmikan oleh Encik Ithnin Mahadi iaitu Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan dan Kecemerlangan Sukan, Kokurikulum dan Keseniaan, KPM." "21 000 Pelajar Terima Pek Kelengkapan Sekolah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebanyak 21 000 pelajar menerima kelengkapan pakaian seragam dan peralatan sekolah\u00a0sumbangan Yayasan PETRONAS bersama Yayasan Didik Negara menerusi Program Kembali ke Sekolah 2023.\nMenurut Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, sumbangan ini adalah bersempena dengan sesi persekolahan 2022/2023 yang baru bermula, selain meringankan beban kewangan keluarga pelajar terbabit dalam menyediakan keperluan persekolahan.\n\u201cMelalui pek kembali ke sekolah ini, setiap pelajar menerima baucar satu set pakaian sekolah, kasut, stokin dan baju sukan.\n\u201cPelajar juga akan menerima kit peralatan sekolah seperti beg sekolah, set alat tulis, pensel warna dan kalkulator saintifik mengikut kategori peringkat sekolah,\u201d kata beliau dalam Majlis Penyerahan Pek Kembali ke Sekolah Yayasan PETRONAS 2023 di Sekolah Pendidikan Khas Jalan Batu (Lelaki), Jalan Raja Laut, pagi tadi.\nYB Fadhlina Sidek berkata, sektor pendidikan ini bukan milik kementerian semata-mata, namun harus disokong dan dibantu oleh ekosistem yang lebih besar, khususnya komuniti setempat.\n\u201cKPM akan memastikan peringatan dari semasa ke semasa diberikan agar tiada isu ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah.\n\u201cPerkara yang penting adalah anak-anak harus ke sekolah. Itu tumpuan kita hari ini untuk memastikan mereka semua berada dalam sistem kita,\u201d ujarnya ketika ditemui oleh sidang media sebaik sahaja menyampaikan pek tersebut kepada 30 orang pelajar khas sebagai penerima awal sumbangan.\nHadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Dato\u2019 Shariah Nelly Francis dan Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Puan Hajah Salmah Jopri." "Ramadan: Kantin Sekolah Kekal Beroperasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyarankan kantin sekolah kekal beroperasi seperti biasa sepanjang bulan Ramadan walaupun jumlah pelajar bukan Islam tidak melebihi 10 peratus.\nMenteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek berkata, pihak sekolah harus berbincang dengan pengusaha kantin agar tidak tutup premis bagi memastikan tiada timbul masalah berbangkit.\n\u201cKita tidak mahu ada senario pelajar makan di dalam stor dan di tepi longkang. Jadi kita perlu menghormati agama dan budaya masing-masing.\n\u201cMereka yang berpuasa perlu menyantuni yang tidak berpuasa dan mereka yang tidak berpuasa perlu belajar menghormati rakannya yang berpuasa,\u201d kata beliau dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Pek Kembali ke Sekolah Yayasan PETRONAS 2023 di Sekolah Pendidikan Khas Jalan Batu (Lelaki), Jalan Raja Laut, hari ini.\nTambah beliau, \u201cSaya yakin bukan hanya pelajar bukan Islam, tetapi ada juga pelajar yang beragama Islam yang belum wajib berpuasa atau tidak ada kekuatan melainkan ingin belajar berpuasa. Jadi jangan risau soal pembukaan operasi kantin.\n\u201cIni adalah kerajaan Madani, kerajaan insklusif yang bermaksud kedua-dua pihak perlu saling hormat-menghormati.\u201d" "Jati Diri Seorang Seniman\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nProses memahami dan menghayati merupakan sesuatu yang berbeza. Perbezaan itu pula bergantung pada tahap khalayak untuk menaakul mesej dan pemikiran yang ingin disampaikan oleh \u201cpenenun karya\u201d. Pada pandangan penulis, memahami cerita boleh dicernakan oleh sesiapa sahaja, iaitu faham melalui fikiran, misalnya tahu tentang watak perwatakan, watak utama, watak antagonis, plot cerita, latar masa dan latar tempat, serta jalur ceritanya.\nNamun begitu, hal ini berbeza daripada proses menghayati, kerana hal ini merupakan sesuatu yang lebih tinggi tahapnya berbanding dengan \u201cfaham\u201d, yang bukan sahaja melalui fikiran, malah mendalaminya dengan jiwa dan perasaan yang benar-benar tulus dan jujur. Sebaik-baik karya yang diperakukan oleh ramai orang, tetap juga mempunyai kelompangan dan kelemahan dalam beberapa aspek. Misalnya, lebih baik ditiadakan dan digugurkan lakonan yang menggunakan perkataan kesat, sumpah seranah walaupun pada hakikatnya situasi tersebut merujuk pada hal benar-benar berlaku dalam masyarakat setempat.\nHal ini menjadi fokus peneliti, pemerhati dan penulis setelah menyaksikan hasil seni Sabri Yunus yang sinonimnya dengan panggilan Pok Ya, dikenali melalui telefilem Pok Ya Cong Codei dan drama bersiri Pok Ya Cong Codei: Memburu Siti. \u00a0Menteri Komunikasi dan Digital, YB Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dalam sesi tayangan khas filem Duan Nago Bogho baru-baru ini meminta \u201cJagalah seni budaya, kerana seni itu merupakan jiwa bangsa, dan identiti negara. Seni merupakan elemen penyatuan dalam membentuk komuniti yang harmoni. Tanpa seni, kita akan mundur, tandus dan hilanglah sesuatu yang paling berharga\u201d.\nSebagai penonton yang meneliti filem ini, Sabri bukanlah sosok pengkarya yang mementingkan aksi pergelutan dan tumbuk menumbuk (watak baik-watak jahat), tetapi skrip dan isi keseluruhan cerita yang menjadi garapan utama. Asas penting melalui filem tersebut adalah berkaitan dengan tema keseluruhan, iaitu perjuangan seni, maruah seni, martabat seni yang perlu dipertahankan, dikekalkan, dan dihayati oleh bangsanya.\nMakyung merupakan identiti seni persembahan di Kelantan menjadi teras utama dalam filem tersebut, selain memperlihatkan seni persembahan dikir barat oleh anak jati Kelantan. Begitulah dengan penerapan dalam Duan Nago Bogho yang mengangkat seni sebagai darah daging kehidupan, akal dan jiwanya. Perjuangan seni kekal diteruskan dan diperjuangkan walaupun seseorang itu merupakan seorang perantau, dan tidak lagi bermastautin di negerinya sendiri.\nDuan, watak utama- bukan seorang gengster, samseng, namun merupakan seorang yang mempunyai prinsip dan ketebalan jati diri sebagai orang seni yang bermaruah. Wataknya juga menonjolkan hubungan kesetiaan dalam bersahabat dan gedebe, iaitu seorang yang pemarah, namun bertindak dengan kewarasan dan suka memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukan. Terkesan juga apabila Duan memarahi seorang rakannya semasa melakonkan watak peran, iaitu watak humor dalam pementasan makyung, \u201cKita bawa watak lucu dan kelakar. Akan tetapi watak lucu bukan bermakna \u2018tiket\u2019 untuk main-main kerana ada serius dan disiplinnya.\u201d\nApakah itu Nago Bogho dan mengapakah diberikan perlambangan sebegitu? Nago Bogho ialah nama yang menjadi sebutan di Kelantan, iaitu sejenis ular tedung. Menurut kepercayaan di sesetengah daerah di Kelantan, Nago Bogho merupakan ular tedung yang berwarna hitam, tidak terlalu panjang seperti ular tedung selar atau tidak pendek seperti ular tedung senduk, namun mempunyai kepanjangan yang sederhana. Apabila ular ini diancam wilayah atau sarangnya, haiwan berbisa ini akan mengejar mangsa dan berdiri tinggi sehingga ekornya sahaja yang kelihatan mencecah tanah.\nSelain itu, di sesetengah tempat, Nago Bogho dikatakan sebagai ular yang besar, panjang, dan bukaan mulut yang luas serta bentuknya seperti ular tedung selar yang warna badannya kuning kemerah-merahan atau perang tua dan mampu menyembur bisanya dari jarak jauh. Haiwan ini juga dikatakan mempunyai sifat yang tidak menghiraukan kehadiran manusia, namun sekiranya diganggu, Nago Bogho akan menjadi sangat agresif, dan mencari peluang untuk mematuk dan menyerang mangsa. Sekalipun diancam dengan senjata, haiwan tersebut tidak akan berundur dan tetap melawan. Oleh hal yang demikian, sifat haiwan inilah yang digambarkan oleh watak Duan, iaitu seorang yang berani berhadapan dengan pelbagai situasi bahaya, bilangan musuh yang banyak dan bersenjata (pisau, parang, dan senjata api-pistol).\nBarangkali, terdapat segelintir masyarakat yang mempersoalkan mengapakah Sabri Yunus cenderung membawa cerita budaya dan seni Kelantan atau kearifan tempatan di negeri Pantai Timur? Secara asasnya, beliau merupakan anak jati Kelantan dan sering merantau ke negeri lain dengan membawa semangat sayangkan seni dan budaya negeri kelahirannya. Selain itu, setiap pengarah atau penenun karya mempunyai identiti yang tersendiri dan hal ini merupakan ciri keistimewaan yang perlu ada bagi setiap pengkarya.\nMaka, cetusan karya daripada Sabri ini memberikan satu inspirasi dan semangat bahawa, negeri lain juga perlu mempertahankan seni warisan budaya agar tidak ditelan dek zaman. Pengekalan tradisi seni budaya diibaratkan seabgai usaha untuk mempertahankan sebuah sejarah negara kerana seni budaya dari setiap negeri wujud sejarah asal usulnya, tokoh dan pewarisnya, kisah perjuangan keaslian seninya, serta terkandung falsafah bagi setiap seni persembahan. Sarawak terkenal dengan permainan sape, bermukun dan bergendang; Kelantan selain daripada makyung terdapat juga dikir barat, kertuk, gendang ubi dan wayang kulit; persembahan belota dan dabus di Perak; Johor pula terkenal dengan persembahan kuda kepang; tarian labi-labi dan tarian piring di Pahang; Perlis pula terkenal dengan persembahan alu bunyi, tarian canggung dan, hadrah, berendoi, beduan, tarian cinta sayang, gendang Perlis, selampit dan awang batil. Manakala masyarakat orang asli pula terkenal dengan tarian sewang.\nMelalui filem ini, digambarkan bahawa seni persembahan merupakan medium dan alat penyatuan semua bangsa, Melayu, Cina dan India. Hal ini dipaparkan melalui watak wanita India yang menjadi watak Pak Yung semasa pementasan persembahan makyung, manakala wanita Cina yang membuat kajian pasal seni persembahan makyung bagi kajian Doktor Falsafah.\nMesej yang tersirat di sebalik filem ini adalah berkaitan rapat dengan keluasan makna seni dan penerimaan seni secara terbuka. Satu daripadanya termasuklah seni persembahan dari pelbagai negeri boleh dihidupkan oleh sesiapa sahaja (merentas sempadan kenegerian), dan tidak perlu berasa rugi apabila wujudnya minat dalam masyarakat atau individu yang bukan berasal dari negeri yang sama. Malah, hal ini dikatakan mampu untuk menyuburkan perkembangan seni budaya agar dapat dihayati secara mendalam oleh generasi muda, selain mampu membentuk perpaduan yang erat dan akrab dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa, budaya dan agama." "Potensi Wanita dalam Bidang Pendidikan Perlu Terus Diberikan Perhatian Serius \u2013 Raja Puan Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan majlis menandatangani watikah-watikah penghargaan kepada para panelis yang terlibat dalam webinar Yayasan Tunku Fauziah (YTF) \u201cWomen in Search of Excellence\u201d (WISE) yang dilaksanakan secara hibrid bertemakan \u201cJourney to The Top\u201d anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) baru-baru ini.\nTuanku Raja Puan Muda selaku Pengerusi YTF secara khususnya menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada Ketua Pengarah MARA, Datuk Sri Azhar Abdul Manaf; Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Datuk Zulfikri Osman; para penceramah serta semua pihak yang membantu secara langsung mahupun tidak langsung.\nTuanku Hajah Lailatul Shahreen turut menitahkan bahawa peranan wanita dalam pendidikan semakin mencabar dibandingkan dengan waktu dahulu. Wanita zaman ini bukan sahaja perlu menggalas tugas menguruskan rumah tangga, malah memainkan peranan mustahak dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara. Jelas baginda:\nKita sedia maklum, bukan mudah mengatasi tekanan dan tuntutan tanggungjawab antara keluarga dan kerjaya. Namun kita amat berbangga akan kejayaan wanita-wanita kita di persada dunia.\n\u201cPerkembangan potensi kaum wanita dalam pendidikan juga perlu terus diberi perhatian serius. Kaum wanita telah membuktikan kebolehan mereka dalam berbagai bidang dan lapangan. Wanita sesungguhnya juga telah banyak memberikan sumbangan kepada negara dan masyarakat.\nBaginda turut bertitah memaklumkan bahawa Kementerian Perpaduan Negara akan menjayakan webinar bulanan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF)\u00a0 \u201cWomen in Search of Excellence (WISE)\u201d edisi ke-19 pada Selasa, 28 Mac 2023.\nWebinar tersebut akan dihoskan oleh kementerian berkenaan melalui Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN) dengan kerjasama Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan topik yang amat menarik, iaitu \u201cAspirasi Wanita ke arah Memartabatkan Perpaduan dalam Kalangan Mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi\u201c.\n(Foto : Yayasan Tuanku Fauziah)" "Tujuh Persatuan Belia di Kedah Terima Sijil Penarafan Lima Bintang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAlor Setar \u2013 Sebanyak tujuh persatuan belia di negeri Kedah menerima sijil penarafan lima bintang setelah diperkenalkan oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Dataran Bandar Alor Setar, Kedah semalam.\nPenyerahan sijil tersebut diadakan bersempena Program Belia Madani Rakan Muda Imarah Ramadan 1444H @ Alor Setar anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Kedah.\nPengarah Belia dan Sukan Negeri Kedah, Mohd Nizam Ismail berkata, program ini dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif awal ke arah mengukur status keaktifan pertubuhan belia di negara ini berasaskan penilaian komprehensif.\nMenurutnya, persatuan belia yang dinilai akan diberikan penarafan bintang mengikut tahap pencapaian masing-masing. Kedah merupakan negeri yang paling banyak menerima sijil penarafan lima bintang bagi tahun ini, iaitu sebanyak tujuh persatuan daripada 935 persatuan berdaftar di bawah Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia Zon Utara, khususnya negeri Kedah.\nTahniah diucapkan kepada pertubuhan yang terpilih menerima sijil penarafan lima bintang itu.\nTahniah juga kepada pihak-pihak lain kerana memberikan kerjasama dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah setelah bertungkus lumus membimbing persatuan tersebut ke arah mencapai prestasi terbaik bagi tahun ini.\nAntara persatuan yang menerima sijil tersebut termasuklah Majlis Belia Daerah (MBD) Langkawi, Kelab Rakan Muda (KRM) Baling, Majlis Belia Daerah (MBD) Kota Setar, Majlis Belia Daerah (MBD) Sik, Persatuan Belia Warisan Ladang Bukit Sidim, Pertubuhan Belia Hindu Cawangan Taman Kenari, Kulim dan Angkatan Belia MFLS Cawangan Negeri Kedah.\nTimbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim ketika berucap di majlis penyampaian sijil penarafan lima bintang tersebut berkata, prestasi kerja yang baik akan dihargai.\nKatanya, terdapat individu tertentu mengaku membuat kebaikan tetapi sebaliknya membuat kerosakan.\nJadi, kita mesti memastikan bahawa tiada golongan sebegini di sisi kita. Hal ini tanggungjawab kita bersama.\nMudah-mudahan kita dapat menjalankan tugas untuk membangunkan negara Madani bagi mensejahterakan kebahagian rakyat Malaysia. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, Abd Aziz Abd Rahman; Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari; Pengerusi Majlis Syura Wadah Abim Negeri Kedah, Datuk Paduka Ahmad Kasim; Pegawai Perdaftar Pertubuhan Belia Malaysia, Hasnata Hasan; Yang DiPertua Abim Negeri Kedah, Azfar Abdullah; Naib Presiden Abim Pusat, Zairudin Hashim dan Presiden Majlis Belia Negeri (MBN) Kedah, Mohd Izzat Afifi Abdul Majid." "Cakna Cui Bono dan Ekonomi Politik Antarabangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam melewati era Revolusi Perindustrian 4.0, kita harus mengakui bahawa semakin pantas ekonomi berkembang, maka semakin banyaklah kerosakan terhadap alam sekitar berlaku. Sedihnya, tidak ramai yang bersungguh-sungguh mengambil tindakan untuk berbuat sesuatu, baik mengambil tindakan secara langsung bagi memulihara alam sekitar itu sendiri mahupun memurnikan bidang ekonomi supaya lebih tegas tumpuannya dan mesra alam sekitar. Selain itu, walaupun banyak pihak yang mengakui bahawa kos memulihara alam sekitar mesti dimasukkan ke dalam pengajaran tentang teori pembangunan, namun begitu tidak ada yang berbuat demikian dalam penyelidikan dan pengajarannya.\nKebanyakan\u00a0 antara kita yang mengetahui\u00a0 tentang peri pentingnya nilai perkhidmatan ekonomi yang disumbangkan oleh institusi kekeluargaan dan institusi informal yang lain seperti perkhidmatan penjagaan, misalnya penjagaan orang tua, orang kurang upaya dan penjagaan bersifat kebajikan lainnya. Namun begitu, kiraan pertumbuhan ekonomi juga tidak mengambil kira sumbangan atau produktiviti institusi kekeluargaan dan perkhidmatan penjagaan informal yang\u00a0 memperlihatkan peranan wanita bukan sahaja sangat penting, malah didapati lebih berkesan. Perkara ini sememangnya sering diperkatakan. Namun begitu, sehingga hari ini perkara ini tidak dipedulikan dengan serius. Sewajarnya paradigma masyarakat tentang pendekatan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi perlu beranjak kepada pentingnya mengambil kira planet bumi dan institusi kekeluargaan yang kita huni, tetapi mengapakah masih kita diamkan?\nPendidikan ekonomi yang hanya menyatakan bahawa sistem pasaran mampu mengagihkan sumber yang terhad dengan berkesan tanpa pembaziran sememangnya tidak dapat dinafikan dari aspek kepentingannya. Masyarakat seharusnya wajar menghargai kecekapan ekonomi melalui sistem pasaran kerana dengan kecekapan ekonomi ini, kos dapat dikurangkan dan untung dapat dilipat gandakan. Persoalan yang mesti ditanya ialah cui bono, iaitu siapakah yang beruntung dengan kecekapan ekonomi itu dan apakah yang difahami sebagai kos? Untung yang dimaksudkan itu ialah keuntungan pengusaha dalam sesebuah industri manakala kos pula termasuk gaji pekerja.\nDengan memastikan kecekapan ekonomi dalam pasaran, keuntungan seorang pengusaha dapat dilipatgandakan dan gaji 100 orang buruh boleh dikurangkan. Hakikatnya memang benar ini ialah hukum ekonomi. Namun begitu, adakah terdapat sistem ekonomi yang tidak melihat usaha pekerja yang dibayar dengan gaji sebagai angkubah kos pengusaha, tetapi sebagai angkubah sumbangan penting kepada keuntungan pengusaha? Dalam erti kata lain, bukankah pengusaha itu tidak ada apa-apa tanpa adanya sumbangan pekerja? Mengapakah kepentingan individu yang kaya diutamakan dalam analisis ekonomi, bukannya kepentingan 100 orang yang bukan kaya sehingga mereka ini disifatkan sebagai faktor kos untuk sektor perindustrian?\nIroninya, anak seorang pekerja kilang yang mempelajari ilmu ekonomi juga terpaksa menelan bulat-bulat ilmu ekonomi seperti ini dan diyakinkan juga bahawa gaji bapanya mesti dikurangkan bagi meningkatkan keuntungan pengusaha kilang tempat bapanya bekerja. Bagi memastikan keuntungan seorang pengusaha itu, bukan sahaja kos alam sekitar tidak dimasukkan sebagai kos, malah kos beratus-ratus buruh yang kecil upahnya turut difahami sebagai komoditi yang boleh dijual beli dan mesti dikurangkan. Mereka yang bertungkus-lumus membantu orang tua dan orang kurang upaya difahami sebagai tanggungjawab dalam keluarga dan masyarakat masing-masing tanpa nilai produktiviti dan sumbangan mereka tidak dibiarkan terlepas begitu sahaja. Persoalan seperti ini tentulah memancing kontroversi kerana mempunyai kaitan dengan perbincangan sistem ilmu, keadilan dan moraliti.\nOleh itu, perlu ada huraian tentang pentingnya masyarakat memahami konsep cui bono, iaitu siapa yang beruntung dengan sistem ilmu, keadilan dan moraliti yang diperkenalkan, terutamanya dalam sebarang analisis atau polisi yang dikemukakan dalam sesebuah negara.\nIlmu ekonomi dan ilmu sosial lain mesti dirangkumkan sekali gus, sama ada dalam pengajaran mahu pun amalan untuk memahami masalah keadilan dalam kehidupan sesebuah masyarakat. Hal ini membawa pengertian bahawa bagi memastikan kita cakna cui bono, iaitu siapakah sebenarnya yang beruntung? Ilmu ekonomi pelbagai disiplin sangat penting, misalnya digabungkan dengan ilmu lain seperti sains politik dan sosiologi. Kesemua ini perlu dimantapkan dan pada masa yang sama merangkumkan metod analisis yang lain seperti sejarah, falsafah dan termasuklah agama.\nOleh sebab kegiatan ekonomi tidak terhad dalam negara sahaja, pendekatan yang lebih bersifat antarabangsa atau global seharusnya diaplikasikan. Atas pertimbangan inilah ilmu ekonomi mesti berkembang sebagaimana sebahagiannya yang telah ada seperti ekonomi moral, ekonomi Islam dan ekonomi politik antarabangsa,apabila ilmu yang terakhir ini disentuh dalam bahagian selanjutnya.\nAntara nama penting dalam bidang ekonomi politik antarabangsa ini ialah Susan Strange (1923-1998). Beliau merupakan antara ilmuwan yang menitikberatkan persoalan cui bono. Bagi beliau, pemahaman sesuatu ilmu itu harus berasaskan kepada analisis tentang siapa yang mendapat manfaat daripada peristiwa ekonomi dan juga daripada metod analisis ekonomi yang ada.\nMasyakarakat hari ini jelas bahawa konsep pasar yang merupakan tempat berjual beli kini bukan sahaja tempat bagi orang bersemuka membeli atau bertukar-tukar barangan antara satu sama lain secara fizikal, malah turut berlaku secara dalam talian. Tingkah laku yang tidak disedari ini sebenarnya amat dipengaruhi oleh sistem pasaran yang mengutamakan kecekapan ekonomi dalam memastikan keuntungan pengusaha.\nApa-apa sahaja aktiviti perniagaan, sama ada ketika membeli sesuatu barangan atau perkhidmatan, ataupun apabila pelabur membeli saham, mahupun ketika institusi perbankan menawarkan pinjaman wang, kesemua transaksi berkenaan seolah-olah hanya berlaku pada peringkat interaksi individu, tetapi sebenarnya melibatkan rantaian komunikasi yang luas. Cakna cui bono membawa erti bahawa, masyarakat perlu peka bahawa siapakah yang beruntung sekiranya pengguna membuat sebarang respons dan tindakan dalam talian atau pembelian dalam pasaran dan kesannya kepada kita?\nBukan itu sahaja, tanpa disedari, sistem pasaran itulah yang sebenarnya menyelaraskan aktiviti ekonomi di seluruh dunia dan mempengaruhi kelakuan kita dalam pembelian sehari-harian. Adakah pernah kita bertanya apakah cui bono daripada kesemua tindakan tersebut?\nMasyarakat perlu cakna tentang perkara ini dan di institusi pengajian tinggi pula, mahasiswa perlu diberikan pendedahan kepada ilmu multidisiplin seperti sains politik, ekonomi dan sosiologi yang disentuh sebelum ini. Pendekatan untuk memahami sesuatu bidang ilmu itu pula tidak seharusnya setakat mengandungi dimensi ekonomi dan sejarah sahaja, tetapi yang sama pentingnya juga ialah perspektif falsafah dan agamanya sekali gus.\nHampir kesemua pakar bidang ilmu Ekonomi Politik Antarabangsa (IPE), umpamanya atau Ekonomi Politik Global menekankan kepentingan empat perspektif dalam IPE ini, iaitu \u201cmerkantilisme\u201d, liberalisme ekonomi, \u201cstrukturalis-Marxisme\u201d dan \u201ckonstruktivisme\u201d. Diharapkan lulusan ekonomi negara mengetahui tentang perspektif-perspektif ini kerana kesemuanya penting dalam memahami cui bono dalam kehidupan hari ini.\nPemikir ekonomi liberal terkenal seperti Adam Smith, David Ricardo, John Maynard Keynes, Friedrich Hayek dan Milton Friedman sememangnya telah menyumbang dalam memahami pengurusan ekonomi global. Sebagai contoh, Ricardo amat terkenal dengan teori \u201ccomparative advantage\u201d. Menurut beliau, dua buah negara akan menghasilkan kekayaan yang melimpah ruah untuk masyarakat dunia sekiranya kedua-dua negara berkenaan memfokuskan kepada bidang utama keluarannya dan mengadakan perdagangan pada peringkat antarabangsa. Teori seperti ini sememangnya nyaman didengar dan sepintas lalu memang masuk akal. Persoalannya, siapakah yang beroleh untung (cui bono) dengan amalan teori seperti ini? Amerika Syarikat muncul sebagai negara maju kerana pemimpinnya yang cakna cui bono, misalnya Alexander Hamilton. Beliau menolak amalan teori ini kerana menganggap teori ini hanya akan menyebabkan negaranya terus berfokus kepada sektor pertanian, dan tidak akan ada peluang untuk maju sebagai negara perindustrian.\nSekiranya negara A menumpukan kepada hasil pengeluaran perkilangan manakala negara B menfokuskan kepada pengeluaran pertanian, sememangnya boleh dijangkakan faedah besar akan terhasil sebagaimana diduga melalui teori \u201ccomparative advantage\u201d itu. Ironinya, negara A melabur dalam industri yang meningkatkan keuntungan (increasing return) sedangkan negara B menumpukan kepada industri pertanian yang keuntungannya menurun (diminishing return). Sekiranya pandangan Ricardo ini diterima sebagai polisi bagi kedua-dua buah negara, akibatnya amat buruk bagi negara B. Hal ini kerana negara B berkenaan bukan sahaja semakin lama semakin tidak dapat menghasilkan keluaran pertanian di atas tanah yang sama, malah kos pengeluarannya akan sentiasa meningkat bagi menghasilkan produk yang sama seperti sebelumnya. Negara A akan terus memperoleh keuntungan disebabkan peningkatan dalam kemahiran. Tambahan lagi, barangan perkilangan tidak menghadapi pelbagai risiko seperti penghasilan barangan pertanian.\nDalam membincangkan perkara seperti ini, Erik S. Reinert dalam bukunya How Rich Countries Got Rich and Why Poor Countries Stay Poor menghuraikan secara tidak langsung tentang pentingnya pemahaman cui bono dan bahayanya amalan teori ini kepada negara membangun yang menyebabkan negara mundur terus mundur dan negara kaya terus semakin kaya. Sehubungan dengan itu, apabila pakar mengesyorkan amalan teori \u201ccomparative advantage\u201d ini, wajar ditanya, \u201ccui bono?\u201d, iaitu adakah negara akan beroleh keuntungan dengan kecekapan ekonomi daripada teori ini?\nJika diperhatikan dengan teliti, semua negara sebenarnya ingin memastikan negara masing-masing sentiasa berada di atas atau terkedepan daripada negara-negara saingannya. Oleh itu, apa-apa sahaja ilmu atau teori yang dipelajari perlulah disematkan senada dengan istilah cui bono itu. Negara perlu berperanan menumpukan kekuasaan dan kekayaannya terhadap usaha pembangunan negara dan menjaga kebajikan masyarakat, termasuk melindungi masyarakat daripada sebarang bahaya persekitaran atau tekanan daripada negara lain. Sistem ekonomi yang baik ialah sistem yang mengutamakan kehidupan bagi negara itu dan dalam hal ini pentingnya peranan negara dalam ekonomi ini. Teori \u201cneo-merkantilisme\u201d diketahui bukan sahaja teori yang paling relevan diamalkan bagi sesebuah negara, bahkan semua negara yang melaungkan slogan ekonomi liberal sebenarnya juga mengamalkan dasar yang \u201cmerkantilistik\u201d.\nFenomena seperti eksploitasi, penjajahan dan kewujudan kelas-kelas dalam masyarakat perlulah difahami dalam konteks cui bono sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini. Eksploitasi, penjajahan dan kewujudan kelas dalam masyarakat itu dapat difahami dengan lebih baik melalui pendekatan \u201cstruktural-Marxisme\u201d sahaja.\nSebenarnya, maklumat dan pengetahuan yang terhasil daripada norma dan idea yang terus diwacanakan oleh sesebuah masyarakat di sesebuah negara amat mempengaruhi tingkah laku seseorang, terutamanya pemimpin negara. Wacana yang dibangunkan di Jepun tentulah menghasilkan norma dan idea yang tidak sama dengan wacana yang dibangunkan di Brazil dan begitulah juga halnya hasil wacana di negara-negara lain. Oleh itu, ekonomi politik antarabangsa amat diperlukan, di mana dunia pada hari ini dipengaruhi oleh wacana-wacana norma berkenaan yang mana melalui pendekatan \u201ckonstruktivisme\u201d, perihal pengurusan ekonomi dunia akan lebih mudah difahami.\nMenurut Balaam dan Dillman (2018), setiap satu daripada empat perspektif IPE (ekonomi liberal, ekonomi \u201cmerkantilisme\u201d, \u201cstruktural-Marxisme\u201d dan \u201ckontruktivisme\u201d) membantu kita memahami cui bono, iaitu tentang siapa yang sebenarnya memperoleh manfaat atau kerugian daripada proses global yang kita amati. Bukan itu sahaja, malah kita juga boleh memahami cara aktor-aktor tertentu memperoleh dan menggunakan kuasa politik dan sumber ekonomi bagi kepentingan mereka, selain daripada membaca muslihat dan matlamat yang ingin dicapai oleh aktor-aktor berkenaan.\nPendeknya, pengamatan yang mesti dibuat dalam memahami proses global itu amatlah luas, bermula daripada menganalisis tingkah laku dan pilihan individu (peringkat individu), hingga ke faktor dalam negara (peringkat negara/masyarakat), keterkaitan antara negara (peringkat antarabangsa) hinggalah ke peringkat global itu sendiri.\nSusan Strange menekankan bahawa kepentingan mengamati lima buah pola aktiviti yang terdapat pada kegiatan ekonomi politik antarabangsa itu, iaitu pengeluaran, perdagangan, kewangan, keselamatan, dan pengetahuan atau harta intelek. Mana mungkin pendekatan satu disiplin seperti hanya mempelajari ilmu ekonomi, sains politik, atau sosiologi sahaja dapat menghasilkan penjelasan yang lengkap tentang peristiwa dan pengurusan global. Hal ini membawa pengertian, analisis bersandarkan pengkhususan satu disiplin hanya dapat meningkatkan kecekapan analisis, bukannya membantu memahami masalah masyarakat apatah lagi menyelesaikannya.\nPenulis, Pensyarah, Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya." "Perihal Penilaian Kualiti Universiti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam jawaban kepada salah satu isu yang saya timbulkan di Dewan Negara, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi menafikan penarafan (ranking) oleh badan antarabangsa seperti Times Higher Education (THE) sebagai sesuatu yang wajib dan keutamaan dalam menilai prestasi dan juga peruntukan kewangan Institut Pengajian Tinggi.\nUngkapan bahawa ciri penarafan \u201ctidak konklusif, muktamad dan tunggal\u201c amat lunak dan sedikit \u201cmenghiburkan\u201c, tetapi bagi warga akademik di universiti, kenyataannya berbeza. Laporan penilaian Myra tenaga akademik sering mencemaskan apabila terdapat ahli akademik yang tidak mencapai penerbitan kategori Web of Science (WoS), Scopus, International Scientific Index (ISI) dan lain-lain. Ketetapan mutu tulisan dalam jurnal yang berdampak tinggi itu dilakukan oleh badan tertentu dengan bayaran yang bukan kecil sebagai syarat penyiaran artikel yang diterima untuk terbit dalam \u00a0jurnal berkategori itu.\nSaya mengambil contoh ketara dampak buruk di universiti perdana negara ini apabila sekumpulan profesor senior dan berwibawa dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan digeser kerana tiada tulisan dalam jurnal-jurnal berdampak tinggi itu. Akibatnya, hingga kini akademi yang dahulu menjadi pusat tersohor pengajian Melayu kehampaan profesor ternama, bahkan tiada penjawat profesor kerana ketatnya ukuran berdasarkan penulisan dalam jurnal berdampak tinggi itu sebagai salah satu ukuran utama. Pusat penilaian kebangsaan bagi terbitan ilmiah, seperti Mycite dan Era tidak terhitung dalam maqam jurnal tersohor yang menjadi tonggak penarafan universiti dan makalah yang dikategorikan dalam jurnal kategori itu dianggap tulisan ilmiah tidak berdampak tinggi meskipun isinya bermutu tinggi.\nKeluh-kesah sarjana bidang sains sosial dan kemanusiaan menjadi cerita dan mimpi buruk kerana tabii terbitan ilmiah berdampak tinggi itu lebih sesuai dengan bidang sains jati sehingga salah satu kesannya ialah lebih kecil peratusan tulisan bidang sosial dan kemanusiaan yang mendapat tempat, berbanding dengan tulisan dalam bidang STEM. Kesan lanjutannya berkaitan dengan peluang naik pangkat yang lebih kecil bagi sarjana sains sosial dan kemanusiaan. Adakah hal ini mitos atau kenyataan?\u00a0Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)\u00a0wajar melakukan kajian.\nMasih dalam isu penerbitan sebagai salah satu tonggak akademik, berlaku diskriminasi\u00a0dalam penilaian terbitan buku berbanding dengan jurnal. Lama dahulu, pada tahun 2004-2006di sebuah universiti tempat saya bertugas, naib canselornya berterus-terang sambil mohon maaf kepada saya kerana buku (pada waktu itu) tidak dinilai sebagai terbitan berdampak.\nBaru-baru ini sahaja buku diberi nilai, tetapi masih lebih rendah daripada nilai jurnal (berdampak tinggi). Sejarah menunjukkan bahawa tamadun sedunia diukur berdasarkan karya dalam bentuk buku kerana buku berisi jalinan bab yang mewakili pelangi ilmu dalam bidang tertentu, bukan menjurus hanya pada satu isu khusus seperti dalam tulisan jurnal. Keterampilan menyusun buku jauh lebih sukar dan tidak dikuasai oleh sesiapa sahaja, kecuali sarjana yang mampu mengembangkan ilmu dengan ketertiban, logik dan seni menulis yang tinggi.\nDampak buruk daripada penekanan berlebihan pada penarafan universiti ialah sirnanya atau merosotnya nilai insani sesetengah (malah kebanyakan) sarjana apabila tumpuan diberikan kepada usaha mengejar penarafan dan pengiktirafan terbitan berdampak tinggi sehingga sumbangan ilmu dalam terbitan di luar kerangka itu (yang berkesan dalam pemasyarakatan ilmu) diremehkan.\nUniversiti Kebangsaan Malaysia sebagai universiti watan menghadapi dilema dalam usaha mengimbangi peranan ilmiah dengan peranan kemasyarakatan, termasuklah pemuliharaan dan pelestarian warisan, budaya dan segala etos nusa, kerana perhatian kepada aspek kedua itu tidak dapat tidak sedikit mengurangkan tumpuan kepada sisi ilmiah sejati dan memerlukan sarjananya membahagi tumpuan.\nKesan lain yang tidak kurang pentingnya ialah penyuburan ilmu multidisiplin dalam bahasa Melayu. Cakap-cakap menjadikan bahasa Melayu bahasa ilmu hanya omong kosong jika tiada upaya terancang untuk mengembangkan ilmu dalam bahasa Melayu, termasuklah\u00a0dalam bidang penerbitan. Pelan Pemartabatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu yang dilancarkan sejak tahun 2011 belum memperlihatkan kesan yang nyata. Hingga kini, ruang tulisan ilmiah berbahasa Melayu masih jauh daripada cukup untuk menampung tulisan ilmiah kerana rata-rata jurnal yang diiktiraf itu dalam bahasa Inggeris (bagi bahasa lain di dunia tiada masalah kerana mereka tidak menjurus hanya kepada bahasa Inggeris). Amat terbatas ruang untuk tulisan ilmiah berbahasa Melayu. Maka itu,\u00a0saya menyarankan penubuhan badan pengindeksan rantau alam Melayu atau Asia Tenggara. Alasan telah ada Mycite tidak cukup utuh kerana tulisan dalam kategori Mycite tidak diiktiraf sebagai tulisan berdampak tinggi dan dinilai sebagai tulisan\u00a0kelas kedua atau tidak berkelas. Perlu ada paduan IPT serantau, khasnya di negara-negara berbahasa Melayu untuk mengambil tanggungjawab membentuk pusat pengindeksan karya ilmiah berbahasa Melayu.\nKualiti, itulah asas penilaian yang dijadikan asas, menurut penegasan Timbalan Menteri KPT. Persoalannya,\u00a0adakah penarafan badan seperti THE itu satu-satunya asas kualiti Pendidikan tinggi di negara ini? Saya dan rakan-rakan yang sependirian, tidak melulu menolak penarafan. Seperti penegasan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi di Dewan Negara, penarafan dapat dijadikan sebagai salah satu asas penilaian pencapaian universiti,\u00a0tetapi bukan asas \u201ctunggal, muktamad dan konklusif\u201c.\nKami menunggu dan melihat sejauh manakah pendirian KPT itu dilaksanakan di universiti di negara ini. Kita tidak wajar menyempitkan makna dan peranan universiti sekadar badan ilmiah \u201csejati\u201c yang mengalpakan warga sarjananya daripada tanggungjawab sosial, kesukarelawanan, ukhuwah dan aspek manusiawi lainnya, di samping menjadi sarjana bitara.\nYB Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, ialah Ahli Dewan Negara merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola DBP." "Aspirasi Wanita Memartabatkan Perpaduan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Peranan ahli akademik di institusi pengajian tinggi adalah amat penting untuk dijadikan sebagai contoh teladan, terutamanya ahli akademik wanita.\nRaja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa proses melahirkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat perlu bermula seawal sekolah rendah hinggalah ke institusi pengajian tinggi.\n\u201cYayasan Tuaku Fauziah (YTF) akan terus berusaha memperkasakan golongan wanita pada peringkat institusi pengajian tinggi untuk menjadi pemimpin yang berdaya saing, tegas dalam menjalankan tugasan mendidik mahasiswa.\n\u201cHal ini\u00a0bukan sekadar memiliki ijazah, namun perkara yang lebih penting adalah mempunyai pemikiran yang matang,\u201d titah baginda dalam Majlis Pembukaan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah 2023, pagi ini.\nMenurut Tuanku Raja Muda Perlis\u00a0yang juga merangkap Penasihat DiRaja YTF, didapati bahawa golongan wanita\u00a0kini\u00a0semakin menonjol meskipun mendepani cabaran kehidupan era globalisasi dan digitalisasi.\n\u201cLebih daripada separuh jumlah staf akademik yang mempunyai kelulusan Doktor Falsafah (PhD) di institusi pengajian tinggi awam adalah wanita.\u201d\n\u201cHal ini menunjukkan golongan wanita semakin dikenali sebagai ahli profesional yang berkelayakan tinggi dan semakin diiktiraf atas pencapaian mereka dalam organisasi dan negara.\u201d\nMengulas lanjut berkaitan webinar YTF, program ini merupakan kali ke-19 diadakan anjuran Kementerian Perpaduan Negara melalui Institut Kajian Dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN) dengan kerjasama Institut Pengajian Sains Sosial (IPSSS) Universiti Putra Malaysia (UPM).\nTerdahulu,\u00a0Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang turut menyampaikan ucapan disusuli dengan ucapan daripada Naib Canselor UPM, Datuk Prof.\u00a0Dr.\u00a0Mohd.\u00a0Roslan Sulaiman.\nTitah perasmian penutupan webinar itu pula disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM\u00a0Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pengerusi YTF pada waktu petang." "Wanita Lebih Kompeten Tangani Krisis COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pemimpin wanita kini mampu memimpin sesebuah kumpulan, organisasi, institusi, malah negara dengan baik meskipun berdepan dengan pandemik COVID-19.\nTitah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang menyokong kajian yang dilakukan oleh Harvard Business Review, mengatakan bahawa pemimpin wanita lebih kompeten berbanding dengan lelaki dalam krisis COVID-19.\nMaka itu, baginda menyeru semua institusi agar terus melakukan penyelidikan berimpak tinggi, khususnya mengenai wanita bagi mengangkatkan dan memartabatkan golongan wanita dalam masyarakat kini.\nInstitusi penyelidikan perlu memainkan peranan penting dalam melaksanakan kajian yang komprehensif berkaitan dengan isu kepimpinan wanita, seperti faktor yang mempengaruhi keberkesanan kepimpinan dalam kalangan wanita.\nSeseorang pemimpin perlu mempunyai kompetensi lain yang menggambarkan kewibawaan sebagai seorang pemimpin.\nDemikian titah Raja Puan Muda Perlis selaku Pengerusi YTF ketika berkenan merasmikan Majlis Penutupan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah 2023 \u2013 Women in Search of Excellence dengan tema yang dipilih khas, iaitu \u201cAspirasi Wanita ke Arah Memartabatkan Perpaduan dalam Kalangan Mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi\u201d pada petang semalam." "Dokumentasi PIFOS: Cap Jari, Gambar dan Profil DNA\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPusat Identifikasi Forensik Setempat (PIFOS) yang ditubuhkan di Ibu Pejabat Polis Daerah di seluruh Malaysia merupakan satu inisiatif Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) untuk meningkatkan kualiti siasatan dan profesionalisme Polis Diraja Malaysia (PDRM). PIFOS ditubuhkan selaras dengan penguatkuasaan Akta Identifikasi DNA 2009 dan Peraturan-Peraturan Identifikasi DNA 2012 pada 1 September 2012.\nPendokumentasian PIFOS terhadap setiap tangkapan Orang Yang Disyaki (OYDS) merangkumi tiga prosedur, iaitu rakaman cap jari, gambar dan sampel asid deoksiribonukleik (DNA). Kuasa untuk merakamkan cap jari dan gambar OYDS diperuntukkan di bawah Seksyen 5 Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang yang Tidak Diingini No. 7 Tahun 1969 (Akta 7/1969), manakala kuasa untuk mengambil sampel DNA pula diperuntukkan di bawah Seksyen 3(3) Akta Identifikasi DNA 2009. Pengambilan DNA yang dilakukan oleh PDRM biasanya melibatkan sampel tidak intim, iaitu air liur yang diambil mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dalam Arahan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bil. 3/2012.\nSelepas pendokumentasian, segala butiran termasuk cap jari OYDS akan disalurkan ke Cawangan D2, iaitu Pusat Pendaftaran Penjenayah Malaysia dan Singapura di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman. Butiran OYDS yang diterima ini akan disemak dan didaftarkan di Pusat Pendaftaran Penjenayah.\nKewajipan Cawangan D2 menyimpan rekod cap jari penjenayah termaktub dalam Seksyen 7 Akta 7/1969. Menurut seksyen tersebut, butiran OYDS yang boleh didaftar perlulah disimpan. Menurut Seksyen 10 dalam akta yang sama, Pegawai Pendaftar D2 berkuasa untuk membuat perbandingan, pengesahan atau penafian pemadanan antara cap jari yang diperolehi di tempat kejadian dengan cap jari yang telah didaftarkan. Oleh itu, Cawangan D2 bertanggungjawab membekalkan sabitan lalu penjenayah bagi pertuduhan di mahkamah. Di samping itu, Cawangan D2 juga perlu menyediakan fail kes, mengenalpasti dan mengesahkan identiti cap jari atau cap tapak tangan di tempat kejadian.\nMenurut hakim Jaganmohan Reddy pada penghujung perbicaraan kes H.P. Administration lawan Om Prakash AIR pada tahun 1972, di India:\nPerakuan sabitan lalu Pendaftar D2 akan diterima sebagai bukti tanpa dipanggil untuk diperiksa di mahkamah kerana prosedur perbandingan dan identifikasi yang dijalankan oleh Pendaftar D2 ini telah berkembang sebagai satu bidang sains dan mencapai tahap kejituan yang tinggi.\nOleh itu, Pegawai D2 yang menjalankan perbandingan dan pengesahan rekod jenayah tidak perlu hadir ke mahkamah untuk memberikan keterangan secara spesifik melainkan keraguannya dibuktikan.\nBagi kes cap jari di tempat kejadian pula, jika bukti pengenalan identiti terhadap tertuduh hanya bergantung kepada keserupaan cap-cap jari, maka pembuktian tersebut memadai untuk menyabitkannya meskipun suspek tidak terlihat di tempat kejadian atau barang kes tidak dijumpai semula.\nHal ini dapat diperhatikan dalam kes Pendakwa Raya lawan Toh Kee Huat pada tahun 1965 yang melibatkan kes kecurian kereta di Campbell Road (kini dikenali sebagai Jalan Dang Wangi). Dalam kes ini, cap jari yang berjaya ditimbulkan daripada permukaan cermin tingkap tempat duduk pemandu didapati serupa dengan cap jari OYDS. Hasil siasatan lanjut mendapati OYDS menurunkan cermin kereta tersebut. Namun begitu, hakim membebaskan tertuduh dengan justifikasi bahawa kereta tersebut didapati ditinggalkan di tempat awam dan bukti cap jari sahaja tidak mencukupi. Tambahan pula, cap jari tersebut telah bercampur aduk dengan cap jari lain yang tidak dapat dikenalpasti. Menurut hakim, bukti yang diperolehi tidak memadai dari sudut legal untuk membuktikan kesalahan tertuduh tanpa keraguan yang munasabah.\nSusulan keputusan tersebut, Pendakwa Raya membuat rayuan dengan mempersoalkan maksud kenyataan \u201ctidak memadai dari sudut legal\u201d yang dibuat dan menolak keputusannya kerana dikatakan seolah-olah memandang enteng kepentingan pembuktian melalui proses pemadanan cap jari oleh Pendaftar D2.\nEkoran rayuan tersebut, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan \u201cbebas\u201d oleh Mahkamah Majistret sebelum itu dan menjatuhkan hukuman penjara selama setahun kepada tertuduh dengan justifikasi bahawa kesan cap jari OYDS tidak mungkin berada pada permukaan dalam cermin sebelah pemandu melainkan OYDS berjaya memasuki kereta tersebut dengan merosakkan pintunya. Menurut hakim mahkamah lagi, kesan cap jari yang ditimbulkan hanya boleh wujud pada waktu malam, iaitu semasa kejadian atau sebelum dijumpai pada waktu pagi.\nTerangnya, cap jari tersebut didapati lebih jelas berbanding dengan cap jari lain yang sudah lama dan tidak dikenalpasti. Tambah hakim, kedudukan serta kualiti kesan cap jari OYDS dengan sendirinya menjelaskan bahawa kejadian itu tidak disebabkan oleh orang lain. Hakim Mahkamah Rayuan mendapati bahawa pertuduhan terhadap OYDS merupakan sebuah kes prima facie. Pihak pendakwa berjaya mengemukakan bukti bahawa wujudnya kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh.\nDi samping itu, gambar dan butiran OYDS yang dirakam oleh PIFOS disimpan dalam sistem E-Mugshot, iaitu pangkalan data foto OYDS di bawah seliaan Cawangan D6 Bukit Aman. Sistem pangkalan data ini digunakan untuk membantu siasatan PDRM terutamanya dari aspek pengecaman oleh saksi atau mangsa.\nSelain itu, sampel DNA OYDS pula dihantar ke Cawangan D13, iaitu Makmal DNA PDRM Bukit Aman. Sampel tidak intim tersebut akan dianalisa secara berperingkat untuk kegunaan masa hadapan, iaitu sebagai maklumat risikan dalam siasatan terutamanya bagi pengesahan pelibatan OYDS dalam jenayah melalui perbandingan sampel DNA yang dikesan di tempat kejadian dengan sampel DNA dalam pangkalan data.\n\u201cDNA boleh diibaratkan sebagai rencana terperinci atau blueprint genetik manusia kerana mengandungi informasi yang diperlukan untuk menurunkan ciri-ciri genetik kepada generasi akan datang,\u201d jelas John M. Butler, seorang pakar profil DNA forensik. Menurut beliau, seorang anak akan menerima satu set kromosom dari setiap pasangan ibu bapa kandungnya. Sebagai natijahnya, anak tersebut akan mewarisi ciri yang terdapat pada ibu dan bapa seperti warna rambut dan mata.\nDengan profil DNA OYDS, penguatkuasa undang-undang dapat menghubungkaitkan dua atau lebih salah laku yang berbeza. Misalnya, sekiranya seorang OYDS ditangkap bagi kesalahan mencuri dan hasil ujian DNA OYDS sepadan dengan sampel DNA yang diperolehi dari tempat kejadian jenayah yang lain, maka boleh dikatakan kedua-dua jenayah itu dilakukan oleh OYDS yang sama.\nYang jelas, selain cap jari, profil DNA juga membantu PDRM untuk mengesan penjenayah sekiranya petunjuk lain gagal dikenalpasti dalam sesuatu siasatan. Proses identifikasi pelaku sesuatu jenayah menjadi lebih mudah dengan adanya usaha pengumpulan sampel DNA secara besar-besaran oleh pihak berwajib.\nJoseph James De Angelo, seorang pembunuh, perogol bersiri dan pencuri sekitar tahun 1974 hingga 1986 di California, Amerika Syarikat telah ditahan oleh pihak polis pada tahun 2018. Pasukan penyiasat khas fail kes yang belum diselesaikan atau Cold Case Files berjaya mengesan dan menangkap De Angelo melalui pemadanan profil DNA. De Angelo yang berusia 73 tahun semasa tangkapan disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya 13 pembunuhan, 51 kes rogol\u00a0 dan 120 kes pecah rumah.\nPasukan penyiasat berjaya menemui petunjuk setelah kesan air mani De Angelo yang diperolehi dari satu tempat kejadian rogol itu dimuatnaik dalam sistem GEDmatch, sebuah platform sumber terbuka DNA yang digunakan oleh orang awam untuk menyusur galur diri mereka.\nSementara itu, dalam kes rogol dan bunuh Canny Ong yang telah menggemparkan rakyat Malaysia dua dekad yang lalu, sampel DNA yang diperolehi dari ibu bapa mangsa digunakan untuk mengesahkan mayatnya yang rentung. Analisis DNA turut dijalankan daripada kesan darah yang didapati di kereta dan seluar jeans milik suspek, Ahmad Najib Aris. Hasil analisis mengesahkan bahawa darah tersebut milik mangsa. Ujian DNA yang telah dijalankan terhadap sampel vagina mangsa juga didapati berpadanan dengan profil DNA milik suspek.\nMenurut peruntukan Seksyen 10(1)(c) Akta 7/1969, hasil perbandingan cap jari oleh Pegawai Pendaftar akan diterima sebagai bukti yang cukup untuk mendakwa seseorang penjenayah melainkan akasnya dibuktikan. Mahkamah menerima hasil ujian DNA yang dijalankan oleh makmal DNA PDRM sebagai keterangan sokongan kerana makmal tersebut memenuhi piawaian antarabangsa dan memiliki Sijil Akreditasi MS ISO/IEC 17025 yang dikeluarkan oleh Jabatan Standard Malaysia. Pembuktian dengan perbandingan cap jari dan profil DNA diterima sebagai keterangan pakar di mahkamah seperti yang termaktub dalam Seksyen 45 Akta Keterangan 1950.\nMaka tidak keterlaluan jika dikatakan keabsahan pembuktian dengan kaedah perbandingan cap jari dan profil DNA di mahkamah jelas memperlihatkan peri pentingnya bank data cap jari dan DNA untuk menambah nilai terhadap hasil siasatan PDRM. Perkara ini penting dalam usaha mengheret penjenayah terutamanya penjenayah elusif ke muka pengadilan agar dapat dijatuhi hukuman yang setimpal dengan salah lakunya.\nACP Mohamad Farouk Eshak, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor.\nKredit foto sorotan: Unsplash/George Prentzas" "Kepulangan Perdana Menteri Adiwira Negara Diiringi Doa dan Sambutan Meriah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSepang \u2013 Ketibaan Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob diiringi doa dan disambut meriah oleh pengurusan tertinggi dan karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama-sama wakil persatuan dan pencinta bahasa di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 10.30 malam tadi.\nAntara yang turut hadir menyambut ketibaan Perdana Menteri termasuklah YBhg. Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan (Pengerusi \u00a0Lembaga Pengelola DBP), YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran (Ketua Pengarah DBP), Encik Mohd Khair Ngadiron [Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM)],\u00a0Encik Kamal Shukri (Majlis Perundingan Melayu), Dr. Mohamad Salleh Rahamat (PENA), Datuk Zainal Abidin Borhan (GAPENA), Encik Amiruddin Ali Hanafiah (Persatuan Penulis Johor), Encik Saifullah Baiduri (UMMAH SISWA) dan wakil beberapa persatuan lain. Golongan belia dan masyarakat pelbagai kaum di negara ini turut memeriahkan suasana dengan laungan kata-kata semangat cinta akan bahasa.\nKetibaan Perdana Menteri disambut oleh ratusan rakyat yang sejak awal telah berada di KLIA bagi\u00a0 menyambut dan meraikan beliau yang telah mengharumkan nama Malaysia di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 di New York. Beliau tiba bersama-sama delegasinya selepas menamatkan lawatan kerja ke New York dan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), masing-masing selama empat hari." "Ribut: Sabar Hadapi Musibah \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah menitipkan ucapan takziah kepada semua mangsa ribut yang terbabit di sekitar Perlis pada petang semalam.\nSemua pihak perlu menerima musibah ini dengan penuh sabar dan berdoa semoga ujian ini akan segera selesai dan digantikan dengan segala kebaikan.\nBaginda bertitah agar kesemua mangsa juga dapat mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta mengambil langkah proaktif bagi memastikan dokumen dan barang berharga dalam keadaan selamat.\n\u201cSemua mangsa yang terlibat dinasihatkan agar dapat menyalurkan maklumat mengenai keadaan yang dihadapi kepada pemimpin masyarakat supaya dapat mempercepatkan lagi penyaluran bantuan oleh agensi berkaitan.\n\u201cSetakat tengah malam semalam, sebanyak 139 buah rumah yang telah dilaporkan terlibat,\u201c titah Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada pagi ini.\nMenurut Tuanku Raja Muda, berdasarkan penyelarasan yang dilaksanakan antara pihak MAIPs dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis, tindakan lawatan bagi mengenal pasti segala keperluan bantuan dan kaedah penyaluran sumbangan telah digerakkan bermula dari semalam.\nMengulas lanjut, MAIPs dan agensi berkaitan akan memberikan penumpuan kepada isu kediaman yang dihadapi oleh mangsa, manakala peniaga yang terlibat disyorkan menyalurkan maklumat melalui persatuan masing-masing." "UMS Terima Sumbangan Rakan Strategik YTSP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSandakan \u2013 Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan daripada rakan strategik Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.\nAntara sumbangan diterima termasuklah sebuah televisyen pintar (Smart TV) 60 inci daripada Profound Radiance Sdn. Bhd. yang disampaikan oleh Datuk Azlan Shah Jaffril; wang tunai RM2000 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk tujuan pemerkasaan aktiviti keagamaan; dan komputer riba daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) kepada dua orang penuntut UMS yang terpilih.\nPenyerahan sumbangan tersebut dibuat semasa Tuanku Raja Muda merasmikan Perpustakaan Fakulti Pertanian Lestari UMS di Kampus Sandakan pada 27 Mac 2023 yang lalu.\nTitah Baginda, UMS ditubuhkan hasil inspirasi pemimpin terdahulu dan merupakan impian rakyat negeri Sabah yang mencerminkan keinginan yang tinggi untuk memacu kecemerlangan ilmu serta merubah kehidupan rakyat.\nKeberangkatan Baginda adalah bersempena dengan Program Titian Kasih 2023 yang dianjurkan oleh UMS dengan kerjasama YTSP.\nTuanku Raja Muda yang juga merangkap Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut berkenan menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Hasrat (LOI) antara UMS dengan UniMAP bagi mengembangkan kerjasama dalam bidang pertanian dan agroteknologi lestari.\nBerpaksikan moto \u201cBertekad Cemerlang\u201d dan menerusi slogan \u201cLeading Towards Innovative Societies\u201d, UMS mewujudkan makmal hidup atau living lab yang berfungsi sebagai pusat penyelidikan dan pembelajaran yang memanfaatkan para penyelidik, penuntut universiti dan juga komuniti.\nBerikutan beberapa kejadian bencana seperti kejadian gempa bumi dan tanah runtuh di Sabah, Baginda turut menyokong usaha UMS yang membangunkan sebuah kompleks simulasi bencana sebagai Pusat Latihan Perubatan Bencana.\nContoh makmal hidup yang sudah dibangunkan oleh UMS dengan kerjasama Universiti Nagasaki ialah Rural Medicine Research Lab di Pusat Pendidikan Perubatan Desa (RMEC), Kudat yang memberikan tumpuan kepada bidang sains kritikal seperti pengurusan bencana dan sains kesihatan luar bandar seperti penyakit tropika.\nUMS juga telah bekerjasama dengan pelbagai pihak industri untuk membangunkan projek pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan dalam bidang pertanian tanah tinggi di Mesilou, Kundasang.\nDalam majlis yang sama, Tuanku Raja Muda turut berkenan menanam sepohon pokok kelapa pandan sebagai simbolik peringatan sempena lawatan." "KPM: Enam Mata Pelajaran Teras Kekurangan Guru\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u2013 Susulan daripada pengambilan guru secara Contract of Service (CoS), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengenal pasti bahawa terdapat enam mata pelajaran teras yang memerlukan pertambahan bilangan guru di sekolah.\nMenurut Timbalan Menteri Pendidikan, YB Lim Hui Ying, KPM telah melaksanakan pengambilan sebanyak 22 327 guru melalui kaedah sekali beri dan kluster mata pelajaran bagi tempoh 2021 hingga Januari 2023.\n\u201cSetakat 28 Februari 2023, antara opsyen mata pelajaran teras yang masih terdapat kekurangan ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Reka Bentuk dan Teknologi, Pendidikan Seni/Seni Visual dan Sejarah.\u201d\n\u201cPengambilan guru akan dilakukan pada April hingga Jun ini. Kita akan ambil guru dari universiti luar,\u201d kata beliau dalam jawapan bertulis kepada soalan Tuan Ahmad Tarmizi Sulaiman [SIK] di Dewan Rakyat pada hari ini.\nJelas beliau, KPM akan melaksanakan pengisian guru dalam kalangan graduan pendidikan lepasan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Universiti Awam, Universiti Swasta.\nSelain itu, pengambilan pengisian guru ini turut melibatkan universiti luar negara, namun tertakluk kepada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran.\nMengulas lanjut, urusan pengambilan tersebut dilaksanakan melalui Pihak Berkuasa Melantik, iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) secara berterusan bagi tahun 2023 dan seterusnya bagi mengisi kekosongan di sekolah KPM.\nDalam perkembangan lain, KPM turut memaklumkan bahawa isu gangguan capaian pada Sistem Pengurusan Identiti (idMe) dan Sistem Bersepadu KPM (MOEIS) telah diselesaikan pada 11 Februari lalu.\nKPM telah mengenal pasti punca masalah kepada keseluruhan sistem ini dengan mengambil kira pengurusan sistem secara keseluruhan serta kompetensi personel bagi memantapkan lagi pelaksanaan sistem tersebut, serta mengurangkan beban tugasan guru." "MABM, MABBIM, Mastera Ditubuhkan bagi Memartabatkan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menubuhkan tiga entiti bagi memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa.\nTiga entiti berkenaan ialah Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM), Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera).\nMenteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek berkata, MABM mempunyai peranan sebagai badan penyelaras perancangan dan pelaksanaan program, serta aktiviti pembinaan, pengembangan, pemupukan, pemeliharaan dan pemantapan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa.\n\u201cAntara aktiviti yang dijalankan, termasuklah Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu, Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu 2022 dan Persidangan Penterjemahan Antarabangsa yang telah memasuki siri ke-18,\u201d kata beliau dalam kenyataan jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada hari ini.\nTambah KPM, MABBIM pula bertujuan untuk membina dan mengembangkan bahasa Melayu supaya menjadi bahasa peradaban tinggi, bahasa ilmu, bahasa sains, bahasa teknologi moden, bahasa perusahaan dan bahasa ekonomi.\n\u201cAntara kejayaan MABBIM termasuklah penerbitan 60 judul kamus istilah dan dua judul daftar istilah MABBIM dalam pelbagai bidang ilmu termasuk sains dan teknologi.\n\u201cIstilah yang dihasilkan boleh dirujuk secara dalam talian melalui Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM).\u201d\nSelain itu, Mastera pula ditubuhkan sebagai organisasi serantau sastera yang ternama pada peringkat antarabangsa dalam pembangunan dan pengembangan penyelidikan, penerbitan, pemasaran dan pengiktirafan sastera.\n\u201cAntara program Mastera termasuklah Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT), Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan Mastera dan penghargaan Sasterawan Muda Mastera,\u201d menurut KPM yang cakna akan perkembangan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa." "Kepincangan Bahasa Melayu di SJKC dan SJKT\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan strategi pemerkasaan bahasa Melayu dalam usaha memastikan tahap penguasaan bahasa kebangsaan yang baik dalam kalangan murid, termasuklah murid di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).\nMenteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek berkata, bahasa Melayu merupakan mata pelajaran teras dalam kurikulum kebangsaan di SJKC dan SJK berdasarkan Pelan Hala Tuju Pendidikan Bahasa Melayu 2016-2025.\n\u201cKPM telah menetapkan bahawa semua murid di sekolah rendah termasuk SJKC dan SJKT perlu menguasai bahasa Melayu sebelum meneruskan pendidikan pada peringkat menengah,\u201d kata beliau dalam persidangan Dewan Negara pada hari ini.\nMengulas lanjut berkaitan dengan tahap penggunaan serta penguasaan bahasa Melayu di SJKC dan SJKT, KPM mengambil beberapa langkah strategik bagi mencapai hasrat tersebut.\nUjar beliau, KPM komited dalam usaha memastikan tahap penguasaan bahasa Melayu murid mencapai tahap yang dihasratkan selaras dengan matlamat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang wajib difahami oleh semua pihak." "Raja Muda Perlis Tinjau Op Pasir Utara Jamin Keselamatan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar\u00a0\u2013 Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah melakukan tinjauan operasi Op Pasir Utara Sektor Bravo Siri 1/2023 ke beberapa buah pos keselamatan negara di sekitar perairan Pantai Timur Sabah, hari ini.\nMenurut siaran media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, lawatan tinjauan tersebut melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA).\nLawatan itu dikenali sebagai Eksesais PERBAH,\u00a0yakni satu siri eksesais yang dirasmikan oleh Tuanku Raja Muda Perlis dan merupakan singkatan kepada\u00a0perkataan Negeri Perlis dan Sabah.\nKeberangkatan baginda ke Pulau Berhala dan Pulau Bakungan Kecil disambut oleh Pegawai Memerintah 23 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD), iaitu Leftenan Kolonel Mohd Azroi Ariffin Shah di Pulau Berhala dan Ketua Penempatan Pos Pulau Bakungan Kecil oleh Kapten Muhd Farith Ibrahim.\nTurut hadir mengiringi baginda ialah Panglima 5 Divisyen TDM, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab,\u00a0Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Sazalee Shoib,\u00a0Timbalan Komander ESSCOM, Brigedier Jeneral Johari Ismail dan Komander Angkatan Tugas Bersama 2, Brigedier Jeneral Wan Edenin Wan Mahsin.\nSementara itu, baginda dan delegasi turut berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada anggota keselamatan pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA),\u00a0iaitu elemen tempur Polis DiRaja Malaysia di Pulau Libaran dan Pulau Pamaguan.\nKetika di Markas Operasi Pulau Berhala,\u00a0baginda yang merupakan Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan daripada rakan strategik yayasan berkenaan dalam kalangan peserta.\nAntara yang disumbangkan, termasuklah satu unit televisyen\u00a055 inci daripada Yayasan Kebajikan Perlis oleh Affendi Rajini Khan dan satu unit televisyen\u00a045 inci,\u00a0iaitu sumbangan peribadi Wan Ahmad Zaheed Wan Mohamad; beg\u00a0sekolah bagi kanak-kanak tadika daripada SWCorp oleh Shamsuharizal Basir; serta RM2000 daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk tujuan pelaksanaan aktiviti dakwah di keempat-empat buah pulau yang dikunjungi tersebut." "Bidang TVET Mampu Mengubah Kehidupan Rakyat \u2013 Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Menurut hebahan media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional atau lebih dikenali sebagai TVET melahirkan banyak peluang yang telah mengubah kehidupan rakyat. Gabungan ilmu dan kemahiran yang tinggi dapat menghasilkan modal insan yang cemerlang dan berkualiti.\nMenurut baginda,\nPembangunan modal insan ini penting dalam mendepani cabaran pada masa akan datang bagi melahirkan keperibadian rakyat yang unggul.\nPada masa yang sama, baginda turut berharap agar hasrat jabatan politeknik dan kolej komuniti Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memperkasakan institusi TVET untuk mentransformasikan politeknik dan kolej komuniti dalam bidang TVET negara dapat direalisasikan.\nRaja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Pusat Kajian dan Akuakultur Politeknik Sandakan (PS) di Sabah pada hari ini.\nKeberangkatan tiba baginda sempena program pembangunan modal insan Titian Kasih yang dianjurkan oleh YTSP Perlis itu disambut oleh Pengarah Politeknik Sandakan, YBrs. Mohd. Sani Said.\nBersempena dengan program tersebut, Tuanku Raja Muda selaku Pengerusi YTSP Perlis turut berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan kepada pihak Politeknik Sandakan daripada beberapa buah rakan strategik yayasan berkenaan dalam kalangan para peserta mengiringi baginda yang berjumlah sebanyak RM2000 daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk tujuan pelaksanaan aktiviti dakwah serta pemberian komputer riba kepada dua orang pelajar terpilih oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).\nSebagai simbolik peringatan kunjungan penuh bersejarah tersebut, baginda turut berkenan menanam sepohon pokok Bambangan atau nama saintifiknya, iaitu Mangifera Pajang di pekarangan pusat kajian tersebut." "Mahasiwa Perlu Bijak Mengatur dan Mengendalikan Majlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani\u00a0\u2013 \u201cPeserta perlu terus yakin, mahir untuk mengatur, mengelola dan mengendalikan sebarang majlis, mereka juga perlu mengetahui, memahami dan memelihara imej agar sentiasa berhemah, menarik dan dihormati,\u201d kata Mohammad Adib Mohd Yussoff.\nSebanyak 53 orang mahasiswa semester dua hingga lima, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah telah menyertai Kursus Protokol dan Etika 2023 anjuran Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) yang berlangsung di Dewan Sarjana Dua, Merbok, Kedah semalam.\nSelaku ketua program, Mohammad Adib Mohd Yussoff berkata, kesemua peserta telah menunjukkan minat melalui mempelajari ilmu berkaitan dengan protokol dan etika dalam pengurusan majlis, etika berpakaian ketika di meja makan dan protokol di istana.\nCeramah yang disampaikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Asmadi Mohammed Ghazali boleh dijadikan sebagai panduan yang berguna kepada semua peserta dalam pengurusan dan pengendalian majlis rasmi. Prof Madya Ts. Dr. Asmadi Mohammed Ghazali merupakan Pensyarah Kanan, Pengajian Sains Maklumat, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media UiTM Kedah.\nMohammad Adib Mohd Yussoff berkata,\nTidak semua pelajar UiTM mampu memperoleh ilmu seumpama ini. Kursus ini bertujuan untuk menyediakan kemahiran kepada ahli Kor SUKSIS dalam menganjurkan majlis rasmi agar lebih tersusun dan lancar, contohnya dalam Majlis Pentauliahan Pegawai SUKSIS dan lain-lain lagi.\nPada masa yang sama, penceramah telah memberikan kefahaman tentang aspek teori dan amalan protokol serta etiket yang meliputi konsep, prinsip, pengurusan dan pengacaraan majlis.\nMenurut Mohammad Adib Mohd Yussoff lagi,\nApabila peserta mempunyai ilmu tersebut, mereka berupaya menjadi pengacara majlis yang berkesan, penyambut tetamu yang baik, menjaga tertib berpakaian mengikut majlis, menjaga keterampilan diri di meja makan dan protokol di istana." "Pemangku Raja Perlis Menzahirkan Ucapan Terima Kasih kepada Seluruh Rakyat Jelata\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat jelata, terutamanya di negeri Perlis serta semua kaum kerabat dan juga sahabat yang sama-sama mendoakan agar dikurniakan kesejahteraan dan kesembuhan segera ke atas Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang telah menjalani pembedahan membaik pulih kaki dan buku lali sebelah kanan pada tengah hari semalam.\nMenerusi kenyataan Istana Arau, baginda juga turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan buat barisan pakar perubatan, kakitangan petugas kesihatan, warga kerja Hospital Putrajaya (HPj) dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan urusan rawatan dan pembedahan Tuanku Raja Perlis dapat berjalan dengan selamat, lancar dan sempurna.\nDYMM Tuanku Syed Sirajuddin telah selamat menjalani pembedahan membaik pulih kaki dan buku lali sebelah kanan pada 1 April 2023. Pembedahan bermula pada pukul 12.00 tengah hari dan telah mengambil masa selama enam jam 40 minit. Baginda telah menerima pembiusan setempat (Regional Anaesthesia) sepanjang tempoh pembedahan tersebut.\nPembedahan Tuanku Raja Perlis telah dijalankan bersama-sama empat orang Pakar Perunding Ortopedik dan tiga orang Pakar Perunding Anestesia. Tuanku Syed Sirajuddin berada dalam keadaan stabil sepanjang tempoh pembedahan dan pembedahan tersebut telah selesai dengan jayanya pada pukul 6.40 petang.\nTurut sama berada di hospital pada malam semalam ialah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Datuk Sri Haji Dr. Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Pengarah (Endokrin) Hospital Putrajaya, Dr. Mohammad Khairol Anwar Yusop.\nMenurut Dr. Noor Hisham, buat masa ini, Tuanku Raja Perlis berada dalam keadaan stabil dan terkawal. Namun begitu, baginda Tuanku masih di dalam pemerhatian rapi oleh pakar perubatan yang telah ditugaskan.\nKetika pembedahan dijalankan, Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid dan Tuanku Pemangku Raja yang juga merupakan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berada di Hospital Putrajaya.\nTuanku Pemangku Raja Perlis bertitah mendoakan agar negeri dan rakyat Perlis yang tercinta akan sentiasa terpelihara daripada segala bahaya dan dikurniakan kemakmuran berpanjangan.\nSeluruh rakyat juga dipohon agar terus mendoakan kesembuhan buat Tuanku Raja Perlis, berkekalan di bawah pemeliharaan dan jagaan Allah SWT." "UiTM Cawangan Perlis Meriah Sambut Pelajar Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Minggu Destini Siswa (MDS) merupakan program wajib bagi semua pelajar baharu yang mendaftar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis.\nSebanyak 189 pelajar baharu telah mengakhiri sesi Minggu Destini Siswa (MDS) bagi sesi Mac 2023 di UiTM Cawangan Perlis pada 20 Mac 2023 yang lalu.\nMDS pada kali ini merangkumi pelbagai aktiviti yang memberikan banyak manfaat kepada pelajar, antaranya termasuklah sesi taklimat oleh pihak Pengurusan UiTM Cawangan Perlis untuk memberikan penjelasan tentang persekitaran kampus, program universiti dan peraturan yang ditekankan oleh pihak universiti.\nRektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi telah merasmikan Majlis Penutupan MDS Sesi Mac 2023 di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis.\nBeliau menyampaikan amanat dan menitipkan nasihat kepada pelajar baharu agar menggunakan peluang yang diberikan dengan sebaik-baiknya dan menamatkan pelajaran dengan jayanya mengikut tempoh yang ditetapkan.\nSelain itu, pelajar juga dinasihatkan untuk menjaga sikap dan adab terutamanya terhadap pensyarah bagi mendapat keberkatan dalam menuntut ilmu. Beliau juga berpesan agar pelajar sentiasa menjaga imej dan nama baik universiti.\nTurut hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor, Timbalan Ketua Pustakawan, Encik Fahizan Hamid dan Ketua Unit serta staf Bahagian Hal Ehwal Pelajar." "\u201cTeruskan Usaha demi Bahasa Kita\u201c \u2013 YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSepang \u2013 YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob disambut dengan meriah sekembali beliau ke tanah air pada malam tadi selepas melaksanakan tugas-tugas rasmi di luar negara khususnya di Debat Umum bersempena dengan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 di New York.\nBerucap dalam bahasa Melayu di pentas antarabangsa sudah tentu merupakan peristiwa bersejarah yang amat bermakna buat seluruh Keluarga Malaysia dalam mencitrakan akal budi bangsa Malaysia menerusi bahasa kebangsaan. Perdana Menteri dengan penuh yakin menyatakan kepada dunia bahawa \u201cSelagi kita bersatu padu dan teguh bersama dalam memikul beban ini, saya pasti kita akan berjaya\u201d.\nTeguh Bersama bukan sekadar slogan atau retorik semata-mata tetapi Perdana Menteri memberikan harapan yang tinggi kepada warga dunia bahawa kesepakatan menuju keamanan global akan dapat dicapai sekiranya 193 buah negara anggota dan dua buah negara pemerhati memahami dengan mendalam gagasan Malaysia ini. Slogan ini tidak hanya bermain di bibir Keluarga Malaysia tetapi menjadi pemacu keamanan global.\nKetegasan Malaysia disampaikan oleh beliau agar badan dunia itu dan seluruh negara anggota dapat memfokuskan isu keamanan global dan bagaimana keamanan Keluarga Dunia dapat diwujudkan agar negara yang dianggap berkuasa dari sudut politik dan ekonomi tidak menyalahgunakan kuasa veto dengan menekan negara yang tidak berdaya.\nPenyampaian beliau dalam bahasa kebangsaan ini telah ditonton oleh berjuta rakyat Malaysia di dalam negara dan juga di luar negara serta dapat dihayati mesejnya dengan jelas oleh seluruh Keluarga Malaysia. Pada masa yang sama, seolah-olah memberikan gambaran kepada dunia bahawa rakyat Malaysia ialah duta keamanan dunia kerana beliau memberikan semangat kepada komuniti antarabangsa untuk merealisasikan semangat Keluarga Dunia ke arah mendepani cabaran global.\nDewan Bahasa dan Pustaka yang diketuai oleh Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan (Pengerusi Lembaga Pengelola DBP) dan Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran (Ketua Pengarah DBP) dan 30 orang karyawan DBP turut hadir memberikan sokongan dan ucapan penghargaan serta tahniah kepada YAB Perdana Menteri atas jasanya yang amat besar dalam meletakkan bahasa Melayu ke tahap tertinggi.\nMelihat karyawan DBP bersama-sama hadir memberikan laungan semangat \u201cBahasa Jiwa Bangsa\u201c, YAB Perdana Menteri juga telah memberikan kata-kata semangat kepada karyawan DBP yang hadir agar meneruskan usaha memartabatkan bahasa Melayu.\nYang turut hadir meraikan sambutan kepulangan YAB Perdana Menteri pada malam tadi ialah Gabungan Penulis Nasional, Persatuan Penulis Nasional, Majlis Profesor Negara, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Persatuan Linguistik Malaysia, UMMAH Malaysia, GPMS, Institut Terjemahan Buku Negara, Persatuan Seni Khat Kebangsaan, Pertubuhan Gagasan Minda Merdeka, PEKOMIK, Majlis Belia Malaysia, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia, Persatuan Pengarah-Pengarah Filem Malaysia, Persatuan Kebajikan Penulis Selangor, Institut Kepimpinan Kamarazaman, Chartered Institute of Logistic and Transport Malaysia dan Majlis Perundingan Melayu." "Latihan Intensif Bakal Komander Sedia Pelapis Kepimpinan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Universiti Awam (UA) Malaysia merupakan nadi utama negara dalam menghasilkan graduan yang holistik dan cemerlang dalam memenuhi keperluan sumber manusia negara.\nBagi menyahut keperluan tersebut, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menganjurkan Program Latihan Intensif Bakal Komander (LIBK) dan Latihan Intensif Brass Band (LIBB) yang melibatkan sebanyak 69 Pelatih LIBK Siri ke-58 dan ke-67 dan Pelatih LIBB Siri ke-20.\nKesemua pelatih ini telah berjaya menamatkan sesi latihan yang telah diadakan pada 5 Mac 2023 dan berakhir pada 16 Mac 2023.\nLIBK merupakan keperluan dan syarat wajib bagi pengambilan ahli baharu pada setiap tahun, iaitu setiap pelatih perlu menjalani latihan asas sebelum bergelar Komander Kesatria UiTM dengan anugerah pangkat permulaan, iaitu Komander Rendah Muda (KRM).\nKedua-dua latihan ini merupakan program tahunan yang dikendalikan oleh Unit Kokurikulum, Bahagian Hal Ehwal Pelajar di seluruh sistem UiTM.\nMatlamat dan objektif program latihan ini adalah untuk mempersiapkan pelatih dengan ilmu kepimpinan, selain memupuk semangat kerja berpasukan yang sihat dalam setiap aktiviti yang dijalankan dan membangunkan semua aspek kemahiran insaniah (KI) dalam kalangan pelatih.\nTerdapat pelbagai aktiviti dan modul diadakan sepanjang LIBK dilaksanakan seperti modul ikhtiar hidup, peta dan kompas, tempur tanpa senjata (TTS), kawad kaki, kawad tongkat, latihan fizikal, tali tinggi, modul kepimpinan dan protokol.\nBagi LIBB pula, pelatih telah didedahkan mengenai modul yang berkaitan dengan tatacara mengiringi perbarisan kawad kaki bagi tamat latihan dan kawalan kehormatan, teknik dan penguasaan persembahan (colour guard), latihan lanjutan mengikut seksyen dan alatan, serta beberapa modul khas lain yang telah disusun.\nPada majlis yang sama, sebanyak lima anugerah pelatih terbaik daripada LIBK dan sembilan anugerah pelatih terbaik daripada LIBB turut diberikan bagi menghargai pencapaian cemerlang pelatih sepanjang latihan tersebut.\nSelain itu, Majlis Pemakaian Pangkat kepada para pelatih juga telah disempurnakan oleh Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Brig. Jen. (K) Prof. Madya Ts, Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi (KEST), diiringi oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Kolonel (K) Prof. Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor (KEST), dan Ketua Unit Kokurikulum UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Mejar Muhammad Najib Mohd Redzwan (KEST).\nMajlis ini juga turut disaksikan oleh Pegawai Kehormat Kesatria UiTM Cawangan Perlis, Ketua Unit Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Perlis dan ibu bapa pelatih berkenaan." "Pelancaran Kelab Sukan Renang Rahmah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani \u2013 Kelab Sukan Renang Rahmah yang pertama di Malaysia dan dikendalikan sepenuhnya oleh Kelab Akuatik Sungai Petani dilancarkan di Pekarangan Kolam Air, Kelab Sungai Petani, Kedah pada hari ini.\nKelab tersebut hanya mengenakan bayaran RM5 sebagai bayaran menggunakan kolam renang tersebut dan memberikan peluang kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas untuk mempelajari aktiviti sukan renang dengan lebih baik lagi.\nKelab tersebut turut mempunyai seorang jurulatih bertauliah, iaitu M. Karunamurthy yang memiliki Skim Pensijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) oleh Institut Sukan Negara (ISN) yang sedia mengajar latihan berenang kepada ahli kelab tersebut. Usaha tersebut sekali gus memberikan peluang kepada lebih banyak anak muda untuk menceburkan diri dalam sukan renang di negara ini." "YDPA Berkenan Melawat Raja Perlis di Hospital Putrajaya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya- Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta\u2019in Billah berkenan berangkat melawat Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Hospital Putrajaya pada pagi tadi.\nBerangkat sama ialah KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.\nKeberangkatan tiba Seri Paduka Baginda yang memandu sendiri kenderaan ke hospital berkenaan berangkat tiba pada pukul 10.30 pagi disambut oleh Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.\nTurut mengiringi sama ialah Timbalan Pengarah (Endokrin) Hospital Putrajaya, Dr. Mohammad Khairol Anwar Yusop.\nDYMM Tuanku Syed Sirajuddin yang telah selamat menjalani pembedahan turut ditemani Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.\nTerdahulu, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin telah menjalani pembedahan membaik pulih kaki dan buku lali sebelah kanan pada 1 April 2023 di Hospital Putrajaya." "Sisi Positif dan Negatif Penggunaan Peranti terhadap Perkembangan Kanak-kanak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam menongkah arus pemodenan, tidak dapat dinafikan bahawa kecanggihan teknologi kini semakin meluas dan membawa pelbagai manfaat kepada kehidupan seharian kita. Peratusan penggunaan peranti oleh masyarakat pelbagai lapisan umur termasuklah golongan kanak-kanak semakin menunjukkan peningkatan dari hari ke hari.\nAntara contoh peranti termasuklah telefon bimbit, komputer riba, komputer tablet, kamera digital dan set kepala. Pada hari ini, memiliki sebuah peranti bukan lagi semata-mata sebagai kehendak, sebaliknya menjadi sebuah keperluan dalam kehidupan seharian.\nSebilangan besar kanak-kanak juga memiliki peranti mereka sendiri. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada tahun 2017, sebanyak 83.2 peratus pengguna Internet terdiri daripada kanak-kanak yang berumur antara lima hingga 17 tahun. 93 peratus daripada kanak-kanak ini menggunakan telefon pintar sebagai akses kepada komunikasi teks, media sosial, carian maklumat dan tontonan video.\nManfaat Peranti kepada Kanak-kanak\nPenggunaan peranti dalam kalangan kanak-kanak dapat meningkatkan penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris. Kanak-kanak dapat meningkatkan kemahiran dari segi pertuturan dan penulisan melalui tontonan video dalam bahasa Inggeris seperti animasi kartun yang dimuat naik secara meluas di Internet.\nSelain itu, pembelajaran menggunakan peranti juga lebih mudah difahami. Hal ini dikatakan demikian kerana kaedah pembelajaran yang mempunyai video dan imej lebih memudahkan kanak-kanak untuk memahami sesuatu proses pembelajaran. Paparan grafik yang menarik dan berwarna-warni dapat memberikan tarikan kepada golongan kanak-kanak untuk belajar. Penggunaan peranti juga dapat meluaskan pengetahuan dan kefahaman mereka tentang dunia seperti adat, masyarakat, tempat dan alam semula jadi.\nSeterusnya, peranti juga membantu untuk meningkatkan inovasi dan mencetuskan pemikiran kritis dalam kalangan kanak-kanak. Pembelajaran menggunakan peranti menggalakkan pembelajaran kendiri dan menjadi medium yang efektif bagi tujuan pendidikan. Ibu bapa boleh mendidik dan mengajar sendiri anak-anak mereka di rumah untuk memberikan pengukuhan kepada pembelajaran yang diperoleh di sekolah. Pembelajaran melalui peranti juga memberikan input mendalam yang berkesan bagi perkembangan minda kanak-kanak terutamanya dari aspek kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) seiring dengan perkembangan semasa.\nSisi Negatif Peranti terhadap Perkembangan Kanak-kanak\nPenggunaan peranti sememangnya memberikan banyak manfaat, namun turut memberikan bahana sekiranya disalahgunakan. Perkara ini dikhuatiri terutamanya bagi golongan kanak-kanak yang menggunakan peranti tanpa pengawasan dan kawalan oleh ibu bapa atau penjaga. Pendedahan terhadap peranti yang terlalu awal berpotensi mendatangkan kesan buruk terhadap rangsangan otak dan menganggu perkembangan otak kanak-kanak.\nMenurut Naquib Nahar et. al (2017), pengeluaran radiasi daripada telefon bimbit dan kebanyakan peranti tanpa wayar akan menyebabkan gangguan pada pertumbuhan otak kanak-kanak. Perkara ini akan mempengaruhi pencapaian anak-anak dari sudut perkembangan kognitif dan akademik mereka. Penggunaan peranti dalam jangka masa yang panjang boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak dari segi pembacaan, pertuturan dan daya fokus. Kanak-kanak juga berisiko mengalami masalah rabun pada usia yang tidak sepatutnya.\nManakala dari aspek mental dan emosi, ketagihan peranti mendorong kepada pelakuan agresif dalam kalangan kanak-kanak. Perkara ini kebiasaannya dapat dilihat apabila kanak-kanak yang ketagih berasa kecewa sekiranya tidak dapat menggunakan peranti masing-masing. Di samping itu juga, penggunaan peranti secara berlebihan boleh melumpuhkan sistem imunisasi kanak-kanak kerana terdedah kepada radiasi yang tinggi. Penggunaan peranti juga memberikan impak yang negatif terhadap perkembangan saraf motor kanak-kanak.\nMenurut Siti Aisyah (2014), dapatan daripada sebuah kajian di Amerika Syarikat menyatakan bahawa penggunaan peranti seperti komputer tablet dalam kalangan kanak-kanak yang berumur dua tahun ke atas boleh melemahkan otot jari dan tangan mereka yang diperlukan untuk menulis. Hal ini demikian kerana penggunaan komputer tablet memerlukan mereka menyentuh skrin peranti secara berlebihan menyebabkan kemahiran motor halus, iaitu pergerakan jari mereka terjejas dan kurang berkembang. Apabila kanak-kanak tidak dapat menguasai kemahiran motor halus dan kemahiran sensori, kesannya terlihat pada perkembangan fizikal mereka ketika meningkat usia remaja. Menurut Karow (2014), dalam kajiannya juga mendapati sebanyak 75 peratus kanak-kanak tidak cukup tidur disebabkan oleh penggunaan peranti elektronik dan hal ini boleh menganggu proses tumbesaran kanak-kanak.\nJalan Penyelesaian?\nAntara punca utama penggunaan peranti ini digunakan oleh kanak-kanak secara berlebihan termasuklah disebabkan kerelaan oleh ibu bapa itu sendiri atas tujuan untuk menenangkan anak-anak mereka apabila berada di luar rumah. Bukan itu sahaja, malah ada juga yang memberikannya atas alasan terpaksa membiarkan anak-anak bermain peranti kerana tidak mempunyai masa untuk melayan kerenah mereka. Kebanyakan ibu bapa bekerja seharian dan pulang ke rumah pada lewat malam \u00a0menyebabkan mereka tiada dapat meluangkan masa bersama anak-anak. Pada masa yang sama, mereka mempunyai tanggungjawab untuk menguruskan rumah tangga. Oleh itu, penggunaan peranti menjadi \u201cmedium\u201d penyelesaian terhadap perkara ini. Anak-anak pula terus menumpukan perhatian dan leka bermain peranti sehingga berjam-jam lamanya.\nSetiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Melihat akan kesan kesan negatif penggunaan peranti terhadap perkembangan kanak-kanak ini, pihak berwajib terutamanya ibu bapa perlu memainkan peranan untuk membendung isu ketagihan dalam kalangan anak-anak. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak sejak dari awal lagi seperti kata pepatah \u201cmelentur buluh biarlah daripada rebungnya\u201d. Antara langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan isu ini berlaku ialah dengan menetapkan masa penggunaan peranti selama satu jam sehari sahaja. Peraturan ini boleh dilakukan dalam usaha mengelakkan ketagihan peranti ini terus berlaku.\nAmerican Academy of Pediatrics (AAP) mengesyorkan bahawa tiada penggunaan peranti bagi kanak-kanak di bawah umur dua tahun. Manakala tempoh penggunaan peranti yang disyorkan ialah hanya satu jam sehari bagi kanak-kanak yang berumur antara tiga hingga lima tahun; satu hingga satu setengah jam sehari bagi kanak-kanak berumur enam hingga 10 tahun; dan dua jam bagi kanak-kanak berusia 11 hingga 13 tahun. Setiap kanak-kanak memerlukan sekurang-kurangnya 12 jam untuk waktu tidur bagi memastikan mereka dapat membesar dengan sihat.\nSeterusnya, ibu bapa perlu berusaha untuk meluangkan masa bersama-sama anak-anak dengan melakukan aktiviti bebas peranti yang menyeronokkan seperti bermain doh, blok kayu, melukis, mewarna atau aktiviti riadah. Penggunaan peralatan seperti televisyen, komputer dan telefon bimbit hendaklah dihadkan di ruangan umum sahaja supaya pemantauan boleh dibuat oleh ibu bapa.\nMemang tidak dinafikan bahawa teknologi peranti sememangnya membawa kebaikan,namun penggunaannya secara berlebihan akan memberikan kesan negatif terhadap perkembangan kanak-kanak. Kanak-kanak seharusnya dididik tentang tanggungjawab mereka dalam mengawal penggunaan peranti. Disiplin diri perlu diterapkan dan disemai bermula pada awal usia. Ibu bapa perlu cakna untuk memastikan anak-anak mereka menggunakan peranti dalam keadaan yang terkawal dan mematuhi arahan yang ditetapkan. Janganlah menjadikan anak sebagai mangsa kepada kecanggihan teknologi peranti yang boleh memberikan kesan terhadap masa hadapan mereka.\n\u00a0\nKredit foto sorotan: Robo Wunderkind/Unsplash" "Penubuhan KRPPM Integriti, Governans dan Antirasuah Diluluskan oleh Dewan Rakyat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Rakyat telah meluluskan penubuhan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah pada 3 April 2023 yang lalu dan dipengerusikan oleh YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh. Keanggotaan KRPPM ini terdiri daripada lapan anggota ahli Parlimen dalam kalangan parti pemerintah dan parti pembangkang.\nSelain itu, KRPPM juga dianggotai oleh YB Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, YB Young Syefura Othman, YB Dr. Muhammed Taufiq Johari, YB Tuan Haji Mohd Syahir Che Sulaiman, YB Tuan Khoo Poay Tiong, YB Tuan Haji Azli Yusof, YB Tuan Roy Angau Gingkoi, YB Puan Rodiyah Sapiee, YB Puan Isnaraissah Munirah [email\u00a0protected], YB Ir. Ts. Haji Khairil Nizam Khirudin, YB Tuan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan YB Senator Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan.\nFokus penubuhan KRPPM ini adalah untuk memastikan perubahan sistemik dan Legislatif bagi mempertingkatkan integriti, tadbir urus dan pencegahan rasuah di Malaysia melalui gabungan kolektif ahli-ahli Parlimen, Senator, masyarakat sivil dan pakar-pakar dalam bidang yang berkaitan.\nKRPPM menyasarkan tumpuan pelaksanaan reformasi institusi yang merangkumi:\nKRPPM turut dianggotai oleh kumpulan masyarakat sivil, iaitu #RasuahBusters-Yayasan Sinar untuk Malaysia (Sekretariat), Transparency International Malaysia, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4), PATRIOT, UNDI 18, Bar Council Malaysia dan kumpulan pakar dan profesional, YBhg. Tan Sri Dr. Syed Hamid Albar, YBhg. Tan Sri Mohamed Nazir Tun Razak, YBhg. Datuk Hussamuddin Yaacub, YBhg. Datuk Dr. Anis Yusal, Encik Shah Hakim Zain, Encik Anas Zubedy, Puan Maha Balakrishnan, Encik Christopher Leong, YBrs. Dr. Terence Gomez dan Encik Badlishah Sham Baharin.\nKRPPM turut menyatakan komitmen yang menyeluruh daripada setiap anggota demi memastikan ketelusan, akauntabiliti dan menyekat penyalahgunaan kuasa melalui penggubalan dan pemerkasaan dasar serta penambahbaikan polisi bersama program kesedaran dan advokasi kemasyarakatan yang berterusan.\nHal ini bersesuaian dengan aspirasi kerajaan yang mengangkat agenda integriti dan antirasuah, gabungan kolektif suara rakyat, ahli Parlimen dan Senator. KRPPM berharap agar usaha tersebut mendapat sokongan daripada Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim dan anggota pentadbirannya, Speaker, Peguam Negara, ahli Parlimen serta seluruh jentera parti politik bagi menjayakan usaha dan objektif untuk negara yang lebih progresif dan amanah dalam menjalankan tanggungjawabnya demi kepentingan rakyat Malaysia." "Micro-credential: Memperkasakan Pembelajaran Sepanjang Hayat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRevolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) telah membawa peningkatan permintaan terhadap pembangunan bakat dan kualiti pendidikan yang sejajar dengan agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH) nasional. Aktiviti berkenaan telah dilaksanakan secara besar-besaran dengan aspirasi untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan berminda kelas pertama. Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), YBrs. Profesor Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, UMT turut aktif menyumbangkan transformasi pada pendidikan negara, antaranya termasuklah terhadap pembelajaran sepanjang hayat di Malaysia dengan memaksimumkan fungsinya sebagai institusi pendidikan tinggi yang mengutamakan perkembangan holistik pelajarnya melalui kursus Micro-credential.\nMicro-credential ialah pensijilan mikro atau kursus pembelajaran yang lebih kecil bertujuan untuk mengiktiraf pemerolehan pengetahuan, kemahiran dan kecekapan peserta dalam sesuatu bidang ilmu yang menyokong terhadap pembangunan profesional, akademik, industri, komuniti mahupun individu. Micro-credential memfokuskan modul pembelajaran dengan skop pembelajaran yang jauh lebih kecil daripada program akademik biasa yang konvensional. Pentauliahan mikro ini boleh dibangunkan melalui kursus akademik yang berstatus akreditasi sementara, atau penuh yang telah ditawarkan oleh UMT atau yang bersifat mandiri. Micro-credential menyediakan laluan pembelajaran yang fleksibel dan memberikan pengiktirafan terhadap pembelajaran dalam tempoh yang singkat serta boleh dipindahkan merentas pelbagai disiplin ilmu. Pada akhir kursus, peserta Micro-credential akan dianugerahkan Lencana Digital, Sijil Mikro atau Penyata Micro-credential Malaysia. Pelaksanaan Micro-credential di UMT juga perlu mematuhi syarat reka bentuk, peraturan dan kualiti, sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).\nSelari dengan misi untuk menjadikan UMT sebagai universiti penjana ilmu yang dapat mewujudkan kemakmuran masyarakat dan kelestarian dunia, UMT telah menawarkan kursus Micro-credential sebagai satu daripada langkah yang efisien untuk memastikan universiti ini terus berkembang dan sentiasa relevan terhadap permintaan globalisasi sosial, ekonomi dan industri semasa. Dekan Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, YBrs. Profesor Dr. Asyraf Haji Ab. Rahman yang merupakan Ketua Pusat Tanggungjawab dan juga individu yang bertanggungjawab dalam memastikan pelaksanaan Micro-credential ini berkata, kursus Micro-credential diberikan keutamaan oleh pihak UMT untuk merealisasikan hasrat seperti yang berikut:\n(a) Pembelajaran Sepanjang Hayat\nTransformasi dan kemajuan teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 turut memberikan persaingan yang sengit dalam negara. Setiap individu perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan, kemahiran dan kecekapan yang lestari mengikut perubahan globalisasi semasa. Pelaksanaan Micro-credential UMT berperanan ke arah memperkasakan pembelajaran sepanjang hayat melalui penawaran modul Micro-credential yang selari dengan perkembangan dan teknologi semasa. Selain itu, misi tersebut juga merupakan satu daripada usaha bagi mengiktiraf dan menggalakkan pembangunan berterusan terhadap golongan profesional, akademik dan individu dalam komuniti.\n(b) Peluasan Capaian Pembelajaran\nBerbeza daripada program akademik konvensional yang bersifat makro dan terhad dari segi ruang dan masa, modul Micro-credential yang ditawarkan oleh UMT ini lebih bersifat fleksibel dan bersaiz kecil. Antara kursus berimpak yang mula mendapat permintaan ramai termasuklah \u201cSwimming and Water Safety\u201d, \u201cMarine Fluid Power\u201d dan \u201cFundamentals of Physical Fitness\u201d. Selain itu, modul Micro-credential secara dalam talian boleh diikuti oleh peserta secara fleksibel mengikut kesesuaian ruang dan masa menggunakan akses teknologi dan rangkaian internet. Peserta hanya perlu membayar kos yang rendah untuk setiap modul tersebut dan boleh meneruskan pembelajaran modul-modul lain berdasarkan kemampuan kewangan masing-masing.\n(c) Pembangunan Profesional\nKursus Micro-credential diharap dapat menggalakkan pembangunan profesional yang selari dengan keperluan pihak industri dan majikan. Kursus ini dapat menambah baik tenaga kerja yang sedia ada dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kompetensi terkini yang diperlukan tanpa komitmen pengajian yang panjang. Kursus ini juga mampu meningkatkan potensi kebolehpasaran graduan selepas tamat belajar. Peserta juga boleh mendapatkan pengiktirafan dalam bidang kerjaya masing-masing berdasarkan keperluan badan profesional yang berkaitan.\n(d) Pembangunan Akademik\nKursus Micro-credential yang berasaskan program akademik konvensional UMT ini bertujuan untuk menyediakan laluan pembangunan akademik yang fleksibel kepada individu yang tidak berpeluang atau tidak berminat untuk mengikuti program akademik melalui mod konvensional. Pada kebiasaannya, individu juga boleh mengumpulkan Lencana Digital/Sijil Mikro bagi modul tertentu untuk memperoleh PPM atau Sijil Profesional serta memohon pemindahan kredit kursus untuk ke program akademik yang bersesuaian bagi memperolehi Sijil Mikro yang lain. Misalnya, pada tahap Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana (secara kerja kursus) atau Ijazah Kedoktoran (secara kerja kursus).\n(e) Pembangunan Individu\nKursus Micro-credential UMT turut menekankan aspek pembangunan individu yang memberika fokus terhadap ilmu pengetahuan, kemahiran dan kualiti hidup. Di samping itu, kursus ini juga membantu menambah baik kehidupan yang holistik dari aspek kerohanian, kekeluargaan dan peningkatan kerjaya. Hal ini penting memandangkan kejayaan dalam kerjaya dipengaruhi oleh tahap kemahiran insaniah dan pembangunan individu.\nSebagai perintis, UMT melalui Jabatan Pembelajaran Sepanjang Hayat (JPSH), Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL) telah berjaya menawarkan pembelajaran secara Micro-Credential buat pertama kalinya di Terengganu. YBrs. Profesor Dr. Hafiza Aishah Hashim, Ketua JPSH UMT memaklumkan bahawa strategi berimpak ini berjaya dilaksanakan secara rasminya pada 11 April 2022 dengan melibatkan kolaborasi antara UMT dengan Akademi Bomba Wilayah Timur. Kursus ini telah melibatkan penyertaan sebanyak 700 orang pelatih baharu dari Akademi Bomba Wakaf Tapai, Terengganu. Sebagai strategi pengajaran yang menyokong pembelajaran sepanjang hayat, kursus ini dijayakan dengan kepakaran daripada UMT dan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) dengan menawarkan keseluruhan tujuh kursus, dengan 29 modul berkredit secara mikro. Kursus-kursus tersebut telah ditawarkan secara hibrid selama empat bulan bermula pertengahan April hingga akhir Julai 2022.\nModul Micro-Credential UMT menawarkan pilihan pembelajaran secara fleksibel, menekankan pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah yang menyokong pertumbuhan kerjaya pelajar. Oleh hal yang demikian, universiti boleh menawarkan pendidikan kelas tertinggi melalui kursus yang diadakan secara bersemuka mahupun secara dalam talian. Pengajaran dan pembelajaran Micro-credential secara dalam talian mengguna pakai aplikasi e-Bayou UMT. Objektif Micro-Credential turut memberikan pengukuhan terhadap teori ilmiah dan praktikal. Bukan itu sahaja, Micro-Credential juga merupakan platform latihan dalaman atau laluan profesional yang memperkasakan peserta sebagai generasi pekerja yang lebih fleksibel, mampu menangani cabaran dan kompetitif dalam pasaran buruh. Berdasarkan impak kursus Micro-Credential siri satu yang diadakan dengan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, UMT berhasrat untuk meneruskan lagi kesinambungan kursus Micro-Credential ini. Hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kerjasama dengan semua pihak yang berkaitan. YBrs. Profesor Dr. Hafiza Aishah turut menyatakan keyakinan terhadap UMT yang berperanan sebagai universiti yang mampu membina akses ilmu terhadap masyarakat tempatan, khususnya di Terengganu dan seterusnya menyokong pembelajaran sepanjang hayat." "Kaitan antara Bencana Alam dengan Falsafah Barat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBencana alam merupakan kejadian yang berlaku secara mengejut dan ekstrem yang berpunca daripada faktor alam sekitar seperti ribut, banjir, kemarau, kebakaran dan gelombang haba. Bencana juga ditakrifkan sebagai suatu gangguan asas dalam konteks sosial yang melibatkan golongan individu dan kumpulan yang melibatkan suatu kejadian buruk sehingga menyebabkan kerugian dan kecelakaan besar kepada umat manusia.\nBencana alam berlaku sama ada disebabkan oleh faktor semula jadi atau perbuatan manusia. Secara semula jadi, alam sekitar telah melalui perubahan yang ketara sejak berabad-abad lamanya. Kewujudan sains dan teknologi telah memberikan manusia \u201ckuasa\u201d untuk mengubah persekitaran. Menurut pemikiran Francis Bacon, alam lebih rendah daripada kuasa, lantaran itu, kuasa mampu mengubah apa-apa sahaja. Atas alasan pembangunan, manusia cuba melakukan perubahan yang tidak mampu diterima oleh alam. Oleh sebab itu, bencana alam akan berlaku pada abad ini dan seterusnya akan lebih kerap berlaku lagi akibat gangguan keterlaluan manusia terhadap sifat semula jadi alam. Selain itu, bencana alam juga akan terjadi disebabkan oleh aktiviti eksploitasi sumber alam untuk kepentingan perniagaan atau industri secara rakus.\nBencana Alam Dunia\nSepanjang sejarah peradaban manusia, bencana alam telah mengorbankan jutaan nyawa, selain memusnahkan harta benda dan infrastruktur. Kematian akibat bencana di seluruh dunia pada tahun 2000 adalah sebanyak 9659 orang, 2001 (30 954 orang), 2002 (12 508 orang), 2003 (110 036 orang), 2004 (241 527 orang), 2005 (90 722 orang), 2006 (22 414 orang), 2007 (16 905 orang), 2008 (235 384 orang), 2009 (11 190 orang), 2010 (317 657 orang), 2011 (30 969 orang), 2012 (9781 orang), 2013 (21 625 orang), 2014 (7988 orang), 2015 (22 874 orang), 2016 (8356 orang), 2017 (9766 orang), 2018 (11 781 orang), 2019 (11 943 orang), 2020 (15 117 orang), 2021 (10 532 orang) dan 13 008 orang bagi tahun 2022.\nBencana alam terawal yang pernah direkodkan dalam sejarah peradaban manusia berlaku pada Mei 526 Masihi apabila gempa bumi yang bermagnitud 7 menggegarkan salah sebuah bandar Empayar Byzantine, Antioch dan mengorbankan sebanyak 250 000 hingga 300 000 orang. Pada 1 September 1923, gempa bumi yang bermagnitud 8.2 telah menggegarkan bandar Tokyo dan Yokohama, Jepun dan turut menghasilkan tsunami setinggi 12 meter. Kematian akibat bencana ini dianggarkan sebanyak 130 000 orang, 90 peratus bangunan di Yokohama telah rosak atau musnah, manakala 350 000 bangunan di Tokyo pula telah musnah dan menyebabkan 60 peratus populasinya telah hilang tempat tinggal.\nBanjir Sungai Yangzi yang telah menenggelamkan 180 000 km persegi kawasan di China antara Julai dan Ogos 1931 merupakan bencana alam paling teruk dalam sejarah umat manusia. Hal ini demikian kerana, banjir tersebut telah menyebabkan 3.7 juta penduduk terbunuh, manakala 51 juta penduduk lagi terjejas. Siklon Bhola yang melanda Timur Pakistan (kini: Bangladesh) pada 12 hingga 13 November 1970 telah menyebabkan kematian yang dianggarkan antara 300 000 hingga 500 000 penduduk dan menjejaskan 3.6 juta penduduk. Kerugian yang dialami akibat Siklon Bhola bernilai AS$86 juta. Kelajuan angin siklon tersebut dicatatkan mencapai 205 km/j.\nTaufan Nina-Banqiao yang melanda Henan, China dari 5 hingga 9 Ogos 1975 telah membunuh 150 000 orang, menyebabkan 10 juta orang hilang tempat tinggal dan kerugian bernilai AS$6.7 bilion. Pada 28 Julai 1976, gempa bumi bermagnitud 7.8 yang menggegarkan bandar Tangshan, China telah mengakibatkan 240 000 penduduk terbunuh, manakala dianggarkan antara 659 000 hingga 800 000 penduduk lagi cedera. Tangshan merupakan metropolis perindustrian perlombongan arang batu. Siklon berkelajuan 210 km/j yang melanda Chittagong, Bangladesh pada 22 hingga 30 April 1991 telah membunuh 139 000 penduduk dan memusnahkan lebih 780 000 kediaman. Pembinaan semula dan rehabilitasi telah menelan kos sebanyak AS$1.78 bilion.\nPada 26 Disember 2004, gempa bumi bermagnitud 9.1 di Lautan Hindi telah mencetuskan tsunami setinggi 30 meter dan bergerak dengan kelajuan 800 km/j. Tsunami yang menjejaskan beberapa negara di Asia Selatan, Asia Tenggara dan Timur Afrika telah menyebabkan lebih 226 000 kematian dan 2 juta orang hilang tempat tinggal. Kerosakan akibat tsunami bernilai AS$10 bilion. Gempa bumi yang menggegarkan Kashmir dan Khyber Pakhtunkhwa di Pakistan dan kawasan sekitar India dan Afghanistan pada 8 Oktober 2005 menyebabkan lebih 3.5 juta penduduk berpindah, 780 000 buah bangunan musnah atau kerosakan secara serius, manakala sebanyak 87 350 orang terbunuh.\nSiklon Nargis yang melanda Myanmar dari 2 hingga 3 Mei 2008 telah mengorbankan sebanyak 140 000 orang dan menjejaskan lebih 2.4 juta penduduk. Gempa bumi bermagnitud 7 yang menggegarkan Haiti pada 12 Januari 2010 telah mengorbankan sejumlah 220 000 penduduk, menjejaskan lebih 3 juta orang dan memusnahkan atau merosakkan lebih 300 000 kediaman.\nInteraksi Manusia dengan Alam Menurut Falsafah Barat\nKrisis alam dan ekologi yang dihadapi oleh manusia pada masa ini mempunyai kaitan dengan pemikiran ahli-ahli falsafah Barat, iaitu Rene Descartes dan Isaac Newton. Pemikiran kedua-dua ahli falsafah tersebut telah membentuk paradigma yang dikenali sebagai Cartesian \u2013 Newtonian. Paradigma tersebut berhujah atas dasar andaian kosmologi bahawa alam ini adalah sebuah mesin raksasa yang mati, tidak bernyawa dan statik serta segala sesuatu yang berada di luar kesedaran subjek termasuklah tubuh manusia dilihat sebagai mesin yang bekerja menurut hukum matematik yang bersifat kuantitatif.\nRene Descartes melalui pemikirannya dalam The Mind-Body Problem, berpendapat bahawa terdapat pemisahan antara minda dengan kerohanian. Descartes menjelaskan bahawa realiti asas yang wujud iaitu, res cogitans (minda manusia) dan res extensa (jasad/fizikal) adalah terpisah dan bertindak secara berasingan. Beliau melihat minda dan jasad berfungsi secara selari, tetapi tidak saling bersambung.\nDescartes mengemukakan dua hujah bagi mengukuhkan pandangannya. Pertama, terbukti dalam bidang fisiologi haiwan dan manusia seperti proses penghadaman dan dalam refleksi tulang bahawa perkara yang berlaku secara langsung tidak berhubung kait dengan roh, sebaliknya perkara yang berlaku boleh dijelaskan melalui prinsip mekanikal. Manakala yang kedua, khusus dalam kes manusia, walaupun kelihatan terdapat hubungan antara jasad dengan roh dalam kebanyakkan aktiviti, namun terdapat satu lagi tindakan mental yang berbentuk pemikiran intelektual yang berlaku tanpa melibatkan aktiviti fisiologi.\nOleh sebab itu, alam fizikal dianggap sebagai alam yang mati kerana tidak bergabung dengan aspek kerohanian. Alam yang mati sama seperti jasad manusia yang tidak bernyawa, dianggap tidak bernilai dan boleh dilakukan sesuka hati terhadap alam. Hal ini berbeza daripada Aristotle yang berhujah bahawa roh dan jasad bersatu dalam satu objek seperti bersatunya bentuk dan jirim dalam satu objek, maka roh tidak terpisah daripada objek fizikal. Aristotle turut menegaskan bahawa roh wujud dalam setiap benda hidup dan memberi keupayaan pemakanan, membesar, membiak, persepsi, pemikiran dan pergerakan secara bebas.\nKesan pemikiran Descartes menyebabkan manusia menganggap alam ini sebagai tidak bernyawa, wujud pemikiran mekanikal dan alam boleh diperlakukan atau dieksploitasi sesuka hati. Alam yang dianggap tidak bernyawa \u201cdilayan\u201d sama seperti manusia mati. Oleh sebab itu, alam boleh diperlakukan dengan sesuka hati kerana tidak bernilai. Selain itu, alam juga dianggap sebagai neutral, maka cara kita berhubung dengan alam juga akan turut berubah kerana dilihat sebagai mesin yang besar.\nPara pemikir Barat sebelum zaman Descartes dan Newton melihat keseluruhan alam sebagai entiti organik. Paradigma Cartesian \u2013 Newtonian memandang alam ini sebagai mesin yang mati tanpa makna simbolik, kualitatif, nilai, roh, cita rasa, etika dan estetika. Pencemaran air sungai dan laut yang berlaku akibat pembuangan sisa pepejal dan kumbahan hampir setiap hari merupakan manifestasi layanan manusia yang buruk terhadap alam memandangkan alam ini dilihat sebagai tidak bernyawa dan bernilai.\nBagi Francis Bacon pula, manusia lebih unggul daripada alam semula jadi, namun pada masa yang sama manusia juga terasing daripadanya. Tambah beliau lagi, alam semula jadi adalah \u201ckasar\u201d dan \u201ctidak memaafkan\u201d maka itu alam semula jadi perlu ditakluki oleh manusia. Bacon melihat manusia wujud dalam empayar alam semula jadi berbanding dengan menganggap manusia sebagai sebahagian daripada alam semula jadi. Oleh sebab itu, alam semula jadi memerlukan manusia untuk dijinakkan, ditakluki, dan ditundukkan. Penaklukan alam berlaku melalui perindustrian dan pengajaran ilmu oleh manusia. Untuk membolehkan manusia mengenali alam, manusia mesti menakluki alam melalui industri.\nSelain itu, penaklukan alam semula jadi melalui industri dan penemuan saintifik juga membawa kepada peningkatan material manusia. Manusia perlu menakluki alam untuk memperoleh pengetahuan tentang dunia, membina empayar ilmu dan kekayaan serta mengeluarkan umat manusia daripada kemiskinan. Cara terbaik untuk mendapatkan pengetahuan tentang rahsia alam semula jadi adalah dengan \u201cmengurang\u201d dan \u201cmenanggalkannya\u201d. Industri, teknologi, dan kekayaan digunakan untuk menakluki, mengkaji, dan menyeksa alam, sebagai contoh melalui penebangan hutan dan eksperimen terhadap haiwan. Alam semula jadi juga terseksa dengan pembukaan kawasan perlombongan bijih timah, bijih besi, emas dan berlian secara besar-besaran kerana berlakunya kerosakan alam.\nMelalui penaklukan dan seksaan alam ini, kekayaan dan keselesaan untuk manusia akan ditemui. Penaklukan terhadap alam oleh manusia secara langsung telah mencipta persekitaran buatan, selain manusia itu sendiri menjadi instrumen buatan. Persekitaran buatan dapat difahami sebagai kawasan yang diubah oleh perbuatan manusia seperti kawasan pertanian, perindustrian, perumahan dan pembangunan infrastruktur lain, antaranya jalan dan lebuh raya.\nSebagai contoh, penerokaan manusia di kawasan hutan paya gambut di Kalimantan untuk tujuan pembalakan dan penanaman pokok kelapa sawit telah mengubah fungsi asal hutan tersebut. Tanah di hutan paya gambut terdiri daripada bahan-bahan organik yang tidak mereput kerana keadaannya yang ditenggelami air. Pembalak membina rangkaian parit untuk menghanyutkan balak dari hutan ke kawasan pengutipan, manakala pengusaha kelapa sawit pula melakukannya untuk mengeringkan tanah supaya penanaman boleh dilakukan. Tindakan pengeringan tersebut telah menyebabkan kawasan tanah paya gambut menjadi mudah terbakar. Keadaan bertambah buruk apabila terdapat pihak yang membersihkan kawasan hutan dengan membakarnya. Pembakaran tersebut menjadi punca utama berlakunya jerebu yang melanda negara-negara jiran hampir setiap tahun dan menyebabkan banyak gangguan dari segi kesihatan dan ekonomi.\nPenaklukan alam dengan rakus yang disebabkan oleh alam semula jadi hanyalah rangkaian tidak berakal yang sukar difahami dan hanya akan digunakan secara instrumental untuk kepentingan manusia. Hal ini terbukti apabila manusia mengorbankan kawasan hutan demi pembangunan kawasan perumahan, pertanian dan perindustrian serta menggunakan sumber hutan untuk perabot, kertas, pensil dan lain-lain. Kemusnahan kawasan hutan juga menjadi satu daripada punca pemanasan global.\nLayanan manusia terhadap alam seperti yang dicanangkan oleh Francis Bacon dan paradigma Cartesian-Newtonian meninggalkan impak yang negatif bukan sahaja terhadap alam, tetapi juga kepada kehidupan manusia. Manusialah yang menjadi penyumbang utama kepada kemusnahan peradaban manusia apabila alam sekitar binasa dan menyebabkan manusia dilanda bencana alam. Jika manusia berpindah ke planet lain sekalipun, planet tersebut akan menimpa nasib yang sama, yakni dirosakkan oleh manusia. Hal ini boleh berlaku jika sikap manusia masih tidak berubah. Jika kepentingan peribadi menguasai diri, alam yang hebat akan dinodai oleh manusia. Jika manusia berharmoni dengan alam, nescaya peradaban manusia mampu bertahan." "DYMM Raja Perlis Menerima Kunjungan Mengadap Sembah oleh Perdana Menteri dan Isteri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail berkenan menerima kunjungan mengadap sembah oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim di Hospital Putrajaya pada petang semalam.\nTurut hadir menemani beliau ialah Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.\nTurut berada sama di sisi Tuanku Syed Sirajuddin yang telah selamat menjalani pembedahan membaik pulih kaki dan buku lali sebelah kanan pada Sabtu, 1 April 2023 baru-baru ini ialah Raja Perempuan Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.\nAnwar dan Wan Azizah mempersembahkan ucapan selamat kepada Tuanku Raja Perlis dan berharap agar Baginda dikurniakan kesembuhan segera.\nPerdana Menteri dan isteri yang tiba pada jam 1.30 petang berada bersama Baginda Tuanku Raja dan Tuanku Raja Perempuan sehingga kira-kira jam 2.15 petang di hospital berkenaan." "Pemangku Raja Perlis Mencemar Duli Lawat Balai Islam TNB Bangsar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Balai Islam An-Nur Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bangsar, Kuala Lumpur pada tengah hari semalam.\nKeberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi TNB, YBhg. Dato\u2019 Abdul Razak Abdul Majid; Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, YBhg. Datuk Indera Ir. Baharin Din; dan Ketua Hal Ehwal Islam TNB, Encik Fajuri Mamat. Turut hadir,\u00a0 kepimpinan tertinggi syarikat milik kerajaan Malaysia (GLC) yang merupakan satu-satunya syarikat utiliti elektrik di Semenanjung Malaysia yang menyediakan perkhidmatan elektrik kepada seluruh pengguna domestik dan industri tanah air.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin dipersembahkan taklimat mengenai kompleks tiga tingkat yang tersergam indah dengan keluasan 1.67 hektar dan memiliki tiga ruang solat yang boleh memuatkan seramai 2 850 jemaah.\nSelain itu, kompleks tersebut turut menempatkan pejabat dan kuarters staf Unit Hal Ehwal Islam TNB, dewan seminar, kafeteria, ruang parkir dua tingkat dengan kapasiti 206 lot serta perkhidmatan pengurusan jenazah.\nSebelum mengakhiri lawatan, DYTM Tuanku Syed Faizuddin berkenan menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut yang dihiasi dengan seni bina berkonsepkan kontemporari dan elegan serta bercirikan mesra alam." "Program Singgah Sahur UiTM Cawangan Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Memasuki minggu ketiga fasa Ramadan, UiTM Cawangan Perlis melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar mengambil peluang menghidupkan bulan Ramadan dengan mengadakan Program Singgah Sahur bersama-sama pelajar yang berada di dalam kampus pada 7 April 2023, \u00a0selepas berjaya mengadakan program seumpamanya bersama-sama para pelajar yang menetap di luar kampus baru-baru ini.\nSebanyak 1500 orang pelajar dari Kolej Beringin, Cengal 1, Cengal 2, Cengal 3, Cengal 4, Cengal 5 dan Cengal 6 menerima bungkusan makanan dan minuman yang telah disempurnakan penyerahannya oleh Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi. Menerusi program tersebut, Rektor UiTM Cawangan Perlis turut meluangkan masa menyantuni hampir keseluruhan bilik mahasiswa di samping bertanya khabar mereka.\nUsaha ini jelas menunjukkan keperihatinan UiTM Cawangan Perlis terhadap kebajikan warganya selari dengan perkara yang dihasratkan dan dititikberatkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Seri Haji Mohamed Khaled Haji Nordin; Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor; dan amanat Rektor UiTM Cawangan Perlis pada tahun 2023. Perkara ini juga sejajar dengan Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) untuk memberikan manfaat kepada komuniti dan industri luar dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), iaitu SDG 1 (tiada kemiskinan) serta SDG 2, yakni mengakhiri kelaparan, mencapai jaminan makanan dan nutrisi yang lebih baik.\nSelain itu, program sebegini dilihat sebagai salah satu usaha murni bagi menghidupkan dan meraikan fadilat yang ada dalam bulan Ramadan serta mempupuk semangat suka bersedekah dan saling membantu dalam kalangan warga kampus.\nMenurut YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim, program yang bermula dari pukul 11.00 malam itu dan berakhir pada pukul 2.00 pagi akan diteruskan ke kolej lain mengikut jadual yang telah ditetapkan. Beliau juga berharap agar program sebegini dapat memberikan keceriaan kepada para pelajar yang berada jauh dari keluarga pada bulan Ramadan ini.\u00a0\nTurut mengiringi Rektor UiTM Cawangan Perlis semasa Program Singgah Sahur ialah\u00a0Ketua Staf Residen Kolej (SRK), staf SRK, Jawatankuasa Induk Perwakilan Kolej dan Jawatankuasa Perwakilan Blok." "Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM Komited Memartabatkan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Seiring dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996, iaitu Bahasa Melayu merupakan mata pelajaran teras di semua sekolah rendah mahupun menengah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) komited untuk memperkasakan penggunaan bahasa Melayu melalui aktiviti kurikulum di peringkat sekolah mahupun jabatan.\nTerdapat pelbagai usaha dan kegiatan telah diadakan oleh BPK untuk memupuk semangat cinta akan bahasa Melayu dalam kalangan warga BPK, termasuklah penganjuran Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) yang juga merupakan program kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Majalah. Program yang tamat pada 29 Julai 2022 itu telah berjaya menarik minat banyak penyertaan dalam kalangan warga BPK yang mengangkat tema \u201cBahasa Jiwa Bangsa.\u201d\nSebanyak lima pertandingan yang telah diadakan sepanjang DBK tersebut berlangsung, iaitu Swafoto Pantun \u201cKeluarga BPK Berhari Raya\u201d, Swafoto Pantun \u201cIbu dan Anak BPK\u201d, Swafoto Pantun: Ayah dan Anak BPK\u201d, Swafoto Puisi \u201cAku dan Kemerdekaan\u201d dan Pertandingan Jawi Kreatif. Kesemua pertandingan tersebut telah disambut baik dalam kalangan warga BPK, sekali gus membuktikan bahawa BPK komited demi mendaulatkan bahasa Melayu.\nMenurut Timbalan Pengarah Kanan Kluster Dasar Sains dan Teknologi, BPK, KPM, Puan Hajah Nooraini Kamaruddin, penggunaan bahasa Melayu yang tepat amat dititikberatkan dalam setiap urusan di BPK termasuklah dalam penyediaan dokumen rasmi. Selain itu, sebagai usaha untuk memastikan setiap warga BPK menggunakan bahasa Melayu dengan betul, beliau turut menekankan agar Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang merupakan produk DBP digunakan sebagai rujukan utama untuk menyemak penggunaan bahasa yang tepat dalam kalangan warganya.\n\u201cBPK turut menghantar warganya untuk menjadi Munsyi Dewan dan ternyata bukan sesuatu yang mudah untuk bergelar Munsyi Dewan,\u201d ujar beliau ketika memberikan ucapan perasmian penutupan DBK yang diadakan pada petang ini.\nYang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Puan Sarina Salim (Timbalan Pengarah Sektor Bahasa dan Kesusasteraan, BPK, KPM), Puan Aninah Janang (Timbalan Ketua Editor Bahagian Majalah, DBP), para pegawai dari BPK, KPM dan pegawai dari Bahagian Majalah, DBP." "Raja Perlis Berangkat Pulang dari Hospital Putrajaya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah berangkat pulang yakni dibenarkan keluar dari Hospital Putrajaya kelmarin, iaitu Jumaat, 7 April 2023 pukul 3.30 petang, \u00a0setelah selamat menjalani pembedahan membaik pulih kaki dan buku lali sebelah kanan pada Sabtu, 1 April 2023 yang lalu.\nBaginda yang diiringi Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid akan bersemayam dan mendapatkan rawatan pemulihan selanjutnya di Istana Perlis, Kuala Lumpur sehingga Baginda pulih sepenuhnya.\nDemikian titah Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut kenyataan Istana Arau hari ini.\nDizahirkan melalui Tuanku Pemangku Raja juga, Tuanku Raja Perlis dan Tuanku Raja Perempuan Perlis menitahkan ucapan terima kasih serta penghargaan yang tidak terhingga kepada pasukan kesihatan terutamanya kepada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah serta seluruh warga Hospital Putrajaya (HPj) yang mempersembahkan perkhidmatan dan komitmen yang baik sepanjang tempoh Baginda menjalani pembedahan dan menerima rawatan di hospital berkenaan.\nUcapan terima kasih daripada Baginda berdua juga ditujukan kepada seluruh rakyat negeri Perlis dan semua kaum kerabat serta kenalan yang sentiasa mendoakan kesihatan, kesejahteraan dan keafiatan Baginda.\nTidak lupa juga sekalung penghargaan buat semua tetamu yang sudi melapangkan masa hadir, selain mempersembahkan bingkisan juadah, bunga-bungaan dan cenderahati kepada Baginda.\nPada Selasa, 4 April 2023, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj telah berkenan berangkat ke Hospital Putrajaya untuk menziarahi Tuanku Raja Perlis.\nDalam pada itu, Perdana Menteri Malaysia, Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli juga turut mengadap Baginda di Hospital Putrajaya.\nTidak terkecuali dif-dif kenamaan lain yang juga turut hadir ke Hospital Putrajaya bagi mengucapkan selamat sembuh kepada Baginda termasuklah Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr. Zulkapli Mohamed serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani." "UiTM Perlis Berkongsi Rezeki melalui Program Kasih Ramadan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis telah menjayakan pelbagai program bersempena menyambut bulan Ramadan, seperti tahun sebelumnya. Oleh itu, Projek Khas Rektor melalui Program Kasih Ramadan UiTM Perlis diperkenalkan bertujuan\u00a0 berkongsi rezeki bersama-sama dengan warga kampus di samping memenuhi tanggungjawab sosial kepada masyarakat setempat.\nPelancaran Program Kasih Ramadan dan Tabung Dana Kasih Ramadan @ UiTM Perlis telah bermula seawal 21 Mac lagi ketika Majlis Amanat Rektor UiTM Perlis 2023, iaitu Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi.\nMelalui Program Kasih Ramadan ini, pelbagai unit dan fakulti telah menyusun program bagi mengimarahkan bulan mulia ini. Sehingga Ramadan ke-17 ini, UiTM Perlis telah menjayakan beberapa program. Antaranya, Program Cerapan Hilal anjuran Kolej Alam Bina; Program Jalinan Kasih 2023 anjuran Kolej Pengajian Perkomputeran, Infomatik dan Media dan Program Kasih Ramadan anjuran Fakulti Sains Gunaan.\nProgram bersiri lain yang masih berjalan sehingga penghujung Ramadan, seperti Program Ihya Ramadan anjuran Unit Hal Ehwal Islam dan Program Singgah Sahur anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar.\nSejumlah lebih 100 orang masyarakat kurang bernasib baik yang terdiri daripada anak yatim, anak tahfiz dan penduduk asnaf telah menerima manfaat daripada program yang telah dijalankan ini dan sejumlah 7 000 pelajar UiTM Perlis turut menikmati manfaat.\nSelain edaran makanan dan aktiviti kebajikan, UiTM Perlis juga aktif dalam menganjurkan pelbagai aktiviti seperti majlis berbuka puasa, sesi tazkirah, solat tarawih, qiamullail, ceramah dan tadarus al-Quran secara dalam talian bagi menyemarakkan kehadiran bulan mulia ini.\nMasih berbaki lebih 7 program yang bakal dijalankan sebelum warga kampus mula bercuti sempena menyambut Syawal. Kesemua aktiviti yang bakal dan telah dilaksanakan ini merupakan hasil sumbangan daripada staf UiTM Perlis dan tajaan luar daripada pelbagai agensi dan rakan strategik.\nUjar YBhg. Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi:\nSaya melihat platform seperti Kasih Ramadan @UiTM Perlis ini amat bersesuaian untuk kita menyemarakkan semangat kesukarelaan kepada warga kampus. Suka untuk saya melihat, semangat dan sumbangan yang diberikan oleh warga kampus dapat diteruskan dan dijadikan satu budaya dan amalan, bukannya kerja yang bermusim.\nUiTM Perlis sentiasa komited dalam merangka dan menjayakan kerjasama bersama komuniti, terutamanya komuniti sekitar negeri Perlis. Untuk itu, dalam usaha memastikan ketampakan dan kepakaran warga UiTM Perlis, projek komuniti akan terus diperluas bukan sahaja di bulan Ramadan, malah akan diteruskan bagi bulan-bulan mendatang." "Lapan Anggota TLDM Anak Jati Perlis Teruja Mengadap Raja Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Lapan orang anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) yang berasal dari Perlis yang bertugas di FOB Tun Azizan di Sandakan, Sabah berasa sungguh bertuah dapat mengadap dan beramah mesra dengan Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam Majlis Berbuka Puasa yang diadakan atas kapal auksilari baru-baru ini.\nTuanku Raja Muda yang berangkat ke sana bagi mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Perlis ke \u201cEks PerBah 2023\u201c turut gembira di atas kesempatan dapat bertanya khabar dengan anak jati Perlis tersebut.\nTambah istimewa sempena lawatan ke Sabah pada kali ini juga baginda diiringi sama oleh Panglima 5 Divisyen Tentera Darat Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab, yang membesar dan bersekolah di Perlis dan juga Pengarah Hospital Duchess of Kent Sandakan, Dr. Mohd Fahmie Datuk Dr. Othman yang juga berasal dari Kangar, Perlis.\nDalam titah ucapan baginda, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah mengingatkan kepada semua agar sentiasa peka terhadap pengawalan perairan dan sempadan negara yang masih perlu diperkasakan dan diperketatkan lagi bagi mengelakkan sebarang bentuk pencerobohan, penyeludupan dan memastikan kedaulatan serta keselamatan negara sentiasa terjamin.\nMenurut Tuanku lagi, semua anggota TLDM, pasukan keselamatan dan agensi-agensi berwajib di sempadan negara yang lain juga dimohon supaya terus-menerus mempertingkatkan lagi kawalan dengan penuh berdisplin, cekal dan berintegriti.\nTitah baginda:\nPada masa yang sama marilah kita semua mendoakan keselamatan dan menghargai jasa mereka yang terus kekal menjadi barisan hadapan negara pada setiap masa.\nSempena kunjungan tersebut juga, Tuanku Syed Faizuddin Putra bagi pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menyerahkan sumbangan bernilai RM2000 kepada pengurusan kapal itu yang diterima oleh peneraju serta pemimpinnya, Komander Abdul Manan Mazlan untuk tujuan aktiviti dakwah.\nDemikian menurut hebahan media MAIPs." "Perbahasan RUU Luluskan Perbekalan Tambahan (2022) dalam Bidang Pendidikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2022) sebanyak lebih RM800 juta yang diperuntukkan bagi sektor pendidikan dalam perbelanjaan tambahan tahun 2022.\nSaya menyokong perbelanjaan tambahan itu dengan memberikan beberapa pandangan untuk memperkukuh pendidikan sebagai wasilah teras pembangunan negara.\nIsu pertama berkaitan dengan sejauh mana telah dilakukan kajian dan langkah bagi menampung \u201ckehilangan pendidikan\u201c akibat kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua tahun kerana COVID-19. Negara tidak boleh kehilangan modal insan yang berilmu dan terlatih, disebabkan oleh bencana atau keadaan yang tidak terduga seperti wabak COVID-19. Berkaitan dengan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu serius menggubal modul pedagogi anjal sebagai persiapan menghadapi kemungkinan seperti wabak COVID-19.\nIsu kedua berkaitan dengan keperluan penyediaan bahan bacaan terperingkat (graded reading materials) untuk memenuhi budaya ilmu dan budaya maklumat dalam kalangan pelajar. Pelbagai bidang ilmu dan maklumat tidak patut ditangguhkan hak pemilikannya hanya kerana anak didik kita berada di Institut Pengajian Tinggi (IPT), tetapi perlu disebarkan kepada murid dan pelajar, berdasarkan kesesuaian laras bahasa dan kedalaman ilmu tersebut.\nSehubungan dengan itu, penghayatan karya kreatif atau susastera perlu dipadukan sejak awal pendidikan seperti yang dilakukan dalam bahasa Inggeris dan bahasa maju yang lain. Dalam hal ini, Komponen Sastera (KOMSAS) belum benar-benar berjaya menjadi wasilah penghayatan susastera dalam aspek nilai, pemikiran dan isu masyarakat kerana masih berat pada aspek struktur karya susastera.\nYang ketiga berkaitan dengan seni dalam pendidikan. Langkah menubuhkan sekolah seni bagus tetapi hendaknya tidak melahirkan lepasan sekolah yang berpegang pada pegangan \u201cSeni untuk seni\u201c. Kemahiran seni perlu dijadikan wasilah untuk pembangunan masyarakat, termasuk soal penghalusan budi. Selain itu, ilmu dan kemahiran seni perlu \u201cditempiaskan\u201c dan \u201cdilimpahkan\u201c juga ke sekolah harian dan sekolah yang bukan sekolah seni agar seni dipadukan sejak awal pendidikan, seperti yang dilaksanakan di negara jiran kita, Indonesia dan negara lain. Dengan demikian, bidang pengkhususan dan aliran apa pun yang dipilih oleh pelajar, seni tetap menjadi sebahagian daripada dirinya.\nAkhirnya, ingin saya sentuh keperluan KPM dengan serius memastikan anak didik kita memiliki paduan kemahiran yang mekanis dengan kemahiran yang fungsional. Pelajar yang lulus cemerlang dalam peperiksaan ternyata tidak semua menjadi pemikir dan orang yang berkesan komunikasinya. Program Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) mesti dipastikan kesannya agar majoriti lepasan sekolah tidak terkepung oleh Kemahiran Berfikir Aras Rendah (KBAR). Sejumlah pemimpin dalam pelbagai bidang yang ada di negara kita masih belum mencapai tahap KBAT dan komunikasi yang berkesan.\nKewajaran peruntukan antara yang terbesar kepada KPM sewajarnya disusuli dengan perancangan dan pelaksanaan yang lebih rapi dan memandang jauh ke hadapan. KPM berpotensi besar mencapai sasaran itu." "\u201cDidik Murid supaya Jijik dengan Rasuah\u201c- YB Fadhlina Sidek\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya\u00a0\u2013\u00a0\u201cKPM komitmen terhadap agenda untuk membasmi rasuah dan akan mengutamakan pembinaan adab dan moral yang tinggi dalam kalangan masyarakat, khususnya melibatkan murid,\u201c jelas Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek.\nBeliau berkata demikian dalam majlis \u2018Forum Integriti dan Ikrar Bebas Rasuah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)\u2019 Tahun 2023 di Auditorium Kompleks Kerajaan, Parcel E, Putrajaya, pagi tadi.\nSebelumnya, beliau turut menyorot pengalamannya sendiri dalam menghadapi situasi rasuah ketika berkhidmat sebagai peguam syarie dahulu.\nApabila menghadapi situasi tersebut, saya berasa sangat geram dan menggigil selama tiga hari. Lebih teruk, individu yang cuba melakukan perbuatan tersebut datang dari institusi yang kehormat.\nSelain itu, beliau juga turut menyatakan bahawa rasuah ini perlu diperangi dengan membina budaya moral, adab dan integriti yang tinggi. Beliau juga turut menyentuh ringkas tulisan Almarhum Syed Hussein Alatas tentang rasuah. Ujarnya,\nSyed Hussein Alatas berpesan bahawa kesedaran intelektual perlu ada dalam melawan rasuah. Penulisan tentang rasuah juga perlu diperluas dan diperbanyakkan dalam kalangan masyarakat.\nBeliau juga turut menjelaskan peranan KPM dalam konteks ini apabila konsep \u201cAnak yang Baik lagi Cerdik (ABC)\u201c diperkenalkan di sekolah dalam membina keteguhan rohani dan sahsiah diri yang terpuji.\nDalam majlis itu juga, pengurusan tertinggi KPM yang diketuai oleh Ketua Setiausaha KPM, Dato\u2019 Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi bersama-sama dengan pegawai KPM yang hadir membaca Ikrar Bebas Rasuah. Selain itu, buku Polisi Perlindungan Pemberi Maklumat dan Panduan Pengurusan Tindakan Tatatertib turut dilancarkan dalam majlis yang sama. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Sri Haji Azam Baki." "HASiL Mempererat Hubungan dengan Media\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) sentiasa percaya bahawa hubungan yang erat antara agensi itu dengan rakan media di negara ini akan mampu menyebarluaskan maklumat berkaitan HASiL yang seterusnya akan mempertingkat tahap kesedaran dan tanggungjawab\u00a0 dalam kalangan pembayar cukai di negara ini.\nPerkara itu dinyatakan oleh YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, dalam ucapan alu-aluannya dalam Majlis Berbuka Puasa dan Apresiasi Media 2023, yang diadakan di Hotel Sunway Putra, pada petang tadi.\n\u201cAntara HASiL dengan media, hubungan kita sangat erat. Kami tidak pernah melupakan peranan media dalam usaha membantu HASiL untuk menyebarluaskan maklumat bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pembayar cukai di negara ini, khususnya terhadap undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan,\u201d ucap YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom.\nBerlandaskan hubungan yang baik itu, HASiL berharap kerjasama tersebut akan terus diperkukuh dan media terus menjadi penghubung \u00a0dalam menyalurkan maklumat dan pengetahuan yang tepat kepada pembayar cukai. Pada masa yang sama juga, peranan HASiL sebagai agensi pemudah cara akan dapat terus diperluas kepada syarikat dan individu pembayar cukai.\n\u201cKita sudah lama dikenali sebagai agensi yang menguatkuasakan undang-undang percukaian di negara ini, tetapi tidak banyak yang mengetahui bahawa HASiL merupakan agensi kerajaan yang menawarkan perkhidmatan kepada rakyat. HASiL sebenarnya menyediakan perkhidmatan untuk memudahkan rakyat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai. Dalam hal ini, jika pembayar cukai tidak faham, HASiL akan berusaha memberikan kefahaman kepada mereka. Apa-apa yang mereka tidak ketahui, HASiL akan membantu mereka,\u201d ucap YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom.\nTambahnya lagi, usaha ini adalah untuk meningkatkan kepercayaan yang tinggi dalam kalangan pembayar cukai.\nJika kepercayaan terhadap HASiL itu tinggi, kita percaya bahawa kadar pematuhan terhadap perundangan akan berada pada tahap yang terbaik\n\u00a0\nYBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom turut mengajak lebih banyak pembayar cukai di negara ini untuk menyertai Program Pengakuan secara Sukarela\u00a0 yang akan diadakan bermula pada 1 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024. Ujarnya, \u201cProgram ini adalah bertujuan untuk menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela dan mengambil peluang bagi melaporkan pendapatan mereka tanpa sebarang penalti.\nDalam majlis yang sama, HASiL turut menyerahkan cenderamata kepada lebih daripada 50 rakan media dari pelbagai agensi termasuklah Dewan Bahasa dan Pustaka." "Aidilfitri: KPM Umum Cuti Khas Tambahan pada 19 April\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan cuti khas tambahan persekolahan pada 19 April 2023 (Rabu) kepada semua institusi pendidikan bawah KPM, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.\nMenurut Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, pemberian cuti khas adalah untuk memudahkan perancangan dan persiapan awal kepada murid, guru dan warga sekolah, khususnya mereka yang perlu merentas negeri untuk pulang ke kampung halaman.\n\u201cKPM mengisytiharkan bahawa pada 19 April adalah cuti khas untuk semua warga KPM. Maka itu, pada 19 April tidak akan ada sesi persekolahan,\u201d kata beliau dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Ikrar Bebas Rasuah dan Forum Integriti, hari ini.\nTerdahulu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) telah memohon KPM agar memberikan cuti khas kepada guru pada 19 April ini, menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.\nSesi cuti persekolahan untuk Aidilfitri tahun ini sebelum ini ditetapkan pada 20 April hingga 1 Mei depan." "Keputusan STAM pada 18 April Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya\u00a0\u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2022 akan dikeluarkan pada 18 April 2023, minggu depan.\nMenteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek berkata,\nCalon boleh memperoleh keputusan peperiksaan di sekolah masing-masing mulai pukul 10.00 pagi pada tarikh tersebut.\u201d\nBagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi jabatan pendidikan negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan.\nMenurutnya dalam kenyataan media pada petang ini, calon boleh membuat semakan keputusan peperiksaan melalui kaedah secara dalam talian atau sistem pesanan ringkas (SMS).\nBeliau turut menjelaskan bahawa sistem ini akan diaktifkan bermula pada pukul 10.00 pagi (18 April 2023) hingga pukul 6.00 petang (24 April 2023).\nMengulas lanjut, KPM memaklumkan sebanyak 4634 orang calon telah menduduki peperiksaan STAM Tahun 2022 di 134 buah pusat peperiksaan di seluruh negara." "MKN Kedah Raikan Kanak-Kanak Terabai\u00a0di PKKPS\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAlor Setar \u2013 Sebanyak 55 orang kanak-kanak di Rumah Kanak-kanak Pokok Sena (RKKPS) Alor Setar, Kedah diraikan dalam program Sedetik Bersama, Selangkah Ke Hati anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kedah dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kedah, hari ini.\nPengetua RKKPS, Encik Harrif Abu Hassan mengatakan bahawa langkah yang diambil oleh MKN Kedah untuk mengadakan majlis tersebut\u00a0merupakan satu anjuran yang sangat baik.\nSekurang-kurangnya, kanak-kanak tersebut lebih ceria dengan kehadiran kakitangan MKN Kedah ini.\u201d\n\u201cTujuan program diadakan adalah untuk mendekati golongan kanak-kanak yang teraniaya dan terabai, termasuklah oleh keluarga masing-masing.\nMenurut beliau, melalui pendekatan begini, program ini mampu memberikan keyakinan kepada penghuni bahawa masyarakat dan agensi kerajaan sentiasa prihatin dan menghargai mereka dalam apa-apa jua keadaan.\nRKKPS merupakan institusi \u201ctempat selamat\u201d bagi pemeliharaan dan perlindungan kanak-kanak yang ditubuhkan atau ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Kanak-Kanak (Tempat Selamat) 2007 di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.\nSemua kanak-kanak lelaki berada di situ, masing-masing berumur antara enam hingga 16 tahun di bawah seliaan JKM.\nTambahnya, terdapat beberapa kategori kanak-kanak yang ditempatkan di RKKPS, iaitu mereka yang di dera dari aspek fizikal, emosi, penganiayaan\u00a0seks oleh ibu bapa atau penjaga.\nSehubungan dengan itu, pelbagai pengisian di atur bagi meraikan kanak-kanak di RKKPS, seperti aktiviti permainan papan, penyerahan sumbangan duit raya, berbuka puasa\u00a0bersama,\u00a0serta solat maghrib\u00a0berjemaah.\nDi samping itu, MKN Kedah juga berbesar hati untuk memberikan\u00a0sumbangan berupa kelengkapan solat dan buku cerita untuk digunakan kanak-kanak di situ.\nTurut hadir ialah Ketua Penolong Pengarah MKN Kedah, Encik Bakhtiar Effendy Khalid, Pembantu Kebajikan Masyarakat, Azrisham Abu Bakar, Penolong Pengarah Keselamatan Daerah MKN Kedah, Encik Mohd Nurul Hasri Abdullah Hashim dan Timbalan Pengetua PKKPS, Hassan Ahmad." "STPM Diiktiraf Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSejak belakangan ini, timbul suara-suara yang mencadangkan agar pendidikan tingkatan enam dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dimansuhkan. Pada tahun 2022, ada pihak yang mencadangkan agar semua jenis peperiksaan yang masih wujud, iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dimansuhkan.\u00a0Cadangan itu mengambil kira langkah yang sama, iaitu selari\u00a0dengan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang kini digantikan dengan pentaksiran berasaskan sekolah.\nPada tahun ini, cadangan yang sama turut diutarakan oleh Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, yang mencadangkan agar kerajaan memansuhkan STPM dan menggantikannya dengan program matrikulasi. Cadangan itu diutarakan pada sesi menggulung perbahasaan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, di Dewan Negara, pada 27 Mac lalu.\n\u00a0\nSebagai respons awal terhadap cadangan itu, kerajaan menerusi Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, telah memutuskan bahawa tiada keperluan untuk memansuhkan pendidikan Tingkatan Enam dan Sijil Persekolahan Malaysia (STPM).\n\u00a0\nHal ini menurutnya kerana tingkatan enam mencakupi peperiksaan STPM yang ditawarkan oleh KPM yang merupakan peperiksaan yang\u00a0 selaras dengan Akta Pendidikan 1996 dan mesti wujud serta diteruskan.\nKewujudannya adalah bertujuan untuk memastikan murid pada peringkat menengah atas mendapat kualiti pendidikan yang setanding dengan piawaian antarabangsa. STPM itu sendiri diiktiraf Cambridge Assessment International Education\n\u201cSemua universiti awam (UA) di negara kita mengiktiraf kelulusan ini, malah lebih daripada 2000 buah universiti di seluruh dunia turut mengiktiraf sijil STPM, jadi lulusan tingkatan enam ini boleh melanjutkan pelajaran ke mana-mana sahaja, di dalam negara, di luar negara, Amerika Syarikat, semua negara Komanwel dan negara Asia Barat,\u201c ujar YB Fadhlina ketika Sesi Menggulung Perbahasaan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, di Dewan Negara.\nYB Fadhlina turut menjelaskan bahawa pendidikan tingkatan enam mempunyai sasaran dan matlamat tersendiri berbanding dengan program matrikulasi dan Ijazah Sarjana Muda Perguruan Malaysia.\n\u201cTingkatan enam ini bertujuan untuk memberikan akses yang seluas-seluasnya kepada lepasan menengah, menerusi 643 buah pusat tingkatan enam pelbagai mod pembelajaran di seluruh negara. Malah KPM juga akan meluaskan kolej tingkatan enam yang dirancang di Pahang, iaitu di Kolej Astana, Kuantan dan satu lagi di Sri Lipis, selain pembinaan kolej tingkatan enam di Kelantan yang sudah lulus peruntukan pembinaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12,\u201c katanya.\nKenyataan Menteri Pendidikan itu menjelaskan bahawa STPM masih relevan dan harus dikekalkan agar lebih banyak murid mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah atas yang bukan sahaja terjamin kualiti pendidikannya tetapi turut setanding dengan piawaian antarabangsa.\nSelain mendapat pengiktirafan antarabangsa, STPM juga terbukti mempunyai kelebihan tersendiri yang dapat menjadi \u201ctiket\u201d penting untuk pelajar lepasan SPM untuk melangkah ke menara gading. Perlu diakui bahawa calon STPM yang menerima keputusan yang baik akan berpotensi untuk menyambung pelajaran ke UA. Hanya dalam tempoh kurang daripada dua tahun, calon STPM dapat menamatkan pendidikan dengan memiliki\u00a0 STPM. Hal ini berbeza daripada calon diploma yang perlu melalui tempoh masa selama tiga tahun sebelum menyambung pelajaran ke peringkat ijazah.\nPeperiksaan STPM yang diiktiraf bukan sahaja di negara ini, malah pada peringkat antarabangsa adalah setaraf dengan diploma. Malah pelajar yang cemerlang dalam STPM juga memiliki peluang yang cerah untuk ditawarkan biasiswa melanjutkan pelajar ke mana-mana UA atau universiti di luar negara.\n\nDikendalikan oleh MPM\nDi Malaysia, Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dipertanggungjawabkan untuk mengelolakan peperiksaan STPM mulai peperiksaan tahun 1982. MPM yang ditubuhkan di bawah Akta Majlis Peperiksaan Malaysia 1980 [Akta 225] merupakan badan berkanun persekutuan yang beroperasi di bawah naungan KPM.\nMPM ditadbir urus oleh lembaga pengelola yang disebut \u201cMajlis\u201d yang keanggotaannya terdiri daripada 19 orang Naib Canselor universiti awam tempatan, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Pengarah Lembaga Peperiksaan, Ketua Eksekutif Majlis Peperiksaan Malaysia, dan lima orang ahli yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Pengerusi Majlis dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan Naib Canselor UA.\nSejarah STPM\u00a0\nSTPM merupakan peperiksaan yang menggantikan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (Higher School Certificate) yang dikelolakan oleh Cambridge Assessment, England. Peperiksaan STPM ini dilaksanakan pada setiap semester di sepanjang tempoh pengajian yang terdiri daripada tiga semester. Gabungan keputusan terbaik bagi ketiga-tiga semester ini akan menentukan pencapaian keseluruhan dalam pengajian STPM. Sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 \u2013 2025 dan Perancangan Senario MPM 2007 \u2013 2025, MPM juga menitikberatkan soalan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dalam peperiksaan STPM. Peperiksaan STPM ini juga bertujuan untuk meningkatkan kualiti pelajar lepasan STPM seperti yang dimatlamatkan dalam bidang keberhasilan utama peringkat KPM dalam Rancangan Malaysia Ke-10.\nDi samping mengurus peperiksaan STPM, MPM juga mengelolakan Malaysian University English Test (MUET) mulai tahun 1999. Ujian kecekapan bahasa Inggeris ini wajib diambil oleh pelajar yang ingin mengikuti program ijazah pertama di Universiti Awam (UA) dan juga untuk tujuan bergraduasi. Ujian MUET ditadbirkan tiga kali setahun mulai tahun 2012. Mulai tahun 2018, MPM juga telah memperkenalkan kaedah MUET on Demand (MoD) yang dilaksanakan pada hampir setiap bulan.\nDalam mengelolakan peperiksaan STPM, MUET, dan SKBMW MPM melaksanakan fungsi yang berikut (Akta 225 Seksyen 10):\n(a) menyediakan dan menerbitkan sukatan pelajaran peperiksaan;\n(b) menyediakan kertas soalan peperiksaan;\n(c) mendaftarkan calon peperiksaan;\n(d) mentadbirkan peperiksaan;\n(e) menganugerahkan sijil.\nPentadbiran MPM dan pengurusan peperiksaan dijalankan oleh Urus Setia Majlis yang bertanggungjawab kepada Majlis. Urus Setia Majlis diketuai oleh Ketua Eksekutif yang juga Ahli Majlis dan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Pegawai Pentadbir, dan Ketua Pegawai Akademik.\u00a0Dalam pengurusan peperiksaan, MPM mendapat kerjasama daripada KPM UA, Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Cambridge Assessment International Education, United Kingdom dan badan profesional yang berkaitan, serta individu yang mempunyai kepakaran khusus. Selain itu, MPM juga merupakan ahli tetap International Association for Education Assessment (IAEA) sejak tahun 2014.\nSudah terbukti bahawa STPM berjaya membuka laluan kepada banyak belia untuk menggenggam ijazah seterusnya melahirkan individu yang berjaya diiktiraf pada peringkat antarabangsa. Maka itu, saranan Menteri Pendidikan bahawa peperiksaan ini akan diteruskan seharusnya menjadi titik noktah terhadap segala persoalan yang dibangkitkan." "Warkah Melayu: Kuasa Bahasa yang Dilupakan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBudaya penulisan yang pesat sekitar abad ke-14 Masihi hingga ke-19 Masihi telah menghasilkan kevariasian pustaka persuratan Melayu yang bermanfaat kepada masyarakat, ditambahi lagi dengan peranan penting yang dimainkan oleh bahasa Melayu sebagai\u00a0lingua franca telah menyumbang kepada perkembangan tersebut. Satu daripada medium yang menyebarluaskan kepesatan penggunaan bahasa Melayu ialah penulisan warkah. Warkah atau surat digunakan sebagai urusan rasmi kerajaan untuk menyampaikan mesej penting, bukan sahaja kepada individu dalam organisasi pentadbiran bahkan kepada kerajaan jajahan, kerajaan luar dan juga Gabenor Eropah.\nWarkah berhias kiriman Sultan Iskandar Muda Mahkota Perkasa Alam kepada Raja England, iaitu Raja James I merupakan surat Melayu yang tertua dan tercantik yang memerihalkan kemegahan pemerintahan Aceh. Warkah ini sering diperkatakan, bukan sahaja oleh sarjana tempatan malahan sarjana luar negara. Apakah rahsianya?\nPerlu kita ketahui bahawa warkah Melayu bukan sahaja mengetengahkan iluminasi sebagai elemen utama kerana terdapat juga warkah tanpa iluminasi ataupun hiasan. Apabila diteliti, ternyata struktur penulisan warkah yang menjadi perhatian sehingga turut dipraktikkan oleh Gabenor Barat untuk mengirim mahupun membalas warkah kepada masyarakat di Tanah Melayu.\nPada masa ini, kita didedahkan dengan ilmu penulisan surat rasmi dan tidak rasmi. Pengetahuan ini tidak pernah lekang dengan anjuran kursus ataupun bengkel bagi menguasainya. Aktiviti ini sangat berfaedah, namun apalah salahnya untuk turut sama-sama membincangkan penulisan yang terdapat pada warkah Melayu, yang tanpa kita sedari bahawa sebenarnya kita sudah pun mempunyai panduan penulisan yang terhasil berabad-abad lamanya dan masih boleh diasosiasikan dalam masyarakat.\nJanganlah terus membungkam minda kita dengan melegarkan pernyataan yang tekal bahawa warkah sekadar warisan tinggalan sejarah dan menyempitkan lagi skop penggunaannya yang dikatakan cenderung relevan hanya kepada golongan pemerintah sahaja. Perkara yang patut dilakukan ialah membuat penelitian terhadap aspek penyampaian dan mengeluarkan faedah daripadanya.\nAb Razak Ab Karim, iaitu seorang penulis prolifik tentang warkah menyatakan bahawa struktur pembinaan bahan ini terbahagi kepada enam bahagian, iaitu kepala surat, cap, kata puji-pujian, kandungan, prapenutup dan penutup. Lazimnya, kepala surat menggunakan perkataan bahasa Arab seperti al-Hamdulillah\u00a0(puji-puji bagi Allah), dan Qawluhu al-Haqq\u00a0(kata-kata yang benar) di samping menggunakan unsur alam, misalnya Wa-al-Syam wa-al Qamar\u00a0(dengan matahari dan bulan).\nPengecaman identiti atau stail penulisan jurutulis merupakan rahsia di balik penggunaan kepala surat manakala bulan dan bintang ialah simbol agama Islam. Cap ataupun dikenali dengan panggilan meterai, tera atau mohor menunjukkan ketulenan warkah dan sebagai ganti tandatangan daripada pengirim. Cap hanya dimiliki oleh kerabat diraja dan golongan pembesar sahaja. Sementara bahagian kandungan berfokuskan mesej utama warkah yang dihantar.\nTiga komponen yang lain pula dapat dilihat mempunyai pertautan jati diri dengan masyarakat Melayu terutamanya semasa berkomunikasi dengan orang lain. Dalam konteks kata puji-pujian, penulis warkah mengadunkan kata nama atau kata kerja bersama dengan kata adjektif seperti \u201carif dan bijaksana\u2019\u2019, \u201cpandai memerintah\u201d atau \u201cbudi pekerti yang baik\u201d untuk menunjukkan keupayaan kehandalan penerima warkah.\nDalam kehidupan masyarakat Melayu, kata-kata ini diimplementasikan\u00a0dengan tujuan memberikan\u00a0sanjungan, penghargaan kepada orang lain yang berkeperibadian baik dan mendapat pengiktirafan dalam sesuatu bidang yang diceburi. Selain itu, kata puji-pujian juga berfungsi sebagai pembuka bicara dan salam perkenalan yang menunjukkan bahawa masyarakat Melayu ialah masyarakat yang peramah dan tidak gemarkan perkelahian.\nSebagai menghormati tetamu, iringan buah tangan sangat sinonim dengan masyarakat Malaysia, dan uniknya tetamu yang datang turut sama memberikan hadiah sebagai tanda jalinan hubungan yang erat. Hal ini turut diterjemahkan pada struktur warkah. Pada bahagian prapenutup, dinyatakan bingkisan hadiah yang dibawa oleh utusan kerajaan serta menggunakan kata panggilan murni seperti \u201csahabat kita\u201d. Suatu perkara yang menarik ialah hadiah yang diberikan juga berdasarkan tema dan bersinonim dengan hajat yang terkandung dalam surat.\nFrasa ayat seperti \u201cTiadalah dengan sepertinya seumpama sekuntum bunga adanya akan jadi barang gunanya, maka jangan kiranya diaibkan\u201d (warkah Raja Kedah kepada Lord Minto \u2013 23 Disember 1810) dan \u201cKemudian daripada itu suatu pun tiada alamat al-ikhlas daripada kita akan sahabat kita, hanyalah doa daripada tiap2 hari malam dan siang\u201d (warkah Sultan Mahmud Syah dari Johor dan Pahang kepada Senyur \u00a0Gurnadur [F. Light] \u2013 10 November 1787), menggambarkan budi pekerti pengirim di samping memancarkan keindahan bahasa yang puitis.\nKomponen penutup pula berfokuskan metode doa. Perkataan yang sentiasa hadir bersama-sama ialah \u201csemoga\u201d, \u201cagar\u201d dan \u201cmudah-mudahan\u201d sebelum frasa doa diungkapkan seperti \u201cdipanjangkan umur\u201d, \u201cdipeliharakan iman\u201d, \u201cbertambah kemuliaan\u201d, \u201cdijauhkan daripada fitnah dunia\u201d dan \u201cbertambah pangkat kebesaran\u201d dan diiringi perkataan amin (perkenanlah). Metode doa ini merupakan komunikasi interpersonal yang menyentuh kerohanian sebagai orang Islam yang sentiasa berdoa semasa dan selepas solat.\nIsi instrinsik warkah berkisar kepada bahasa Melayu sebagai bahasa perantara utama. Di dalamnya kaya dengan nilai-nilai bahasa yang dapat dikaji dari aspek nahu, semantik dan juga fonetik serta\u00a0fonologi. Selain itu, dapat dikaji juga dari aspek sosiobudaya dan juga kesenian. Justeru itu, pengkajian daripada ahli sarjana sangat diperlukan untuk menonjolkan kuasa bahasa melalui medium ini. Tidak dinafikan, dana penyelidikan sangat diperlukan namun usaha dan langkah perlu dijalankan bagi meyakinkan penyumbang dana.\nSebagai bangsa yang bertamadun, sikap menghargai dan mengadaptasikan\u00a0sesebuah produk, hasil intelektual masyarakat tempatan perlu terus dilestarikan\u00a0agar tidak kalis zaman. Walaupun tidak dinafikan, struktur penulisan surat menyurat telah berlaku evolusinya tetapi kita janganlah begitu naif dan tanpa bersalah terus meninggalkan struktur penulisan yang sudah lama wujud dan pernah menjadi garis panduan surat-menyurat. Kita begitu gelojoh menghilangkan kuasa bahasa yang berwibawa dan menjadi kekuatan tulisan mewakili lisan kita.\nSekadar cadangan daripada penulis, jika warkah Melayu sudah tidak mendapat tempat dalam penelitian, sekurang-kurangnya foto warkah berbingkai mewah dan bertulisan Jawi dipotretkan dan digantung di pejabat-pejabat rasmi kerajaan dan khususnya di pejabat Dewan Bahasa dan Pustaka agar dapat dikenang sebagai perantara bahasa yang digunakan pada zaman pemerintahan kesultanan Melayu dahulu di samping dijadikan sebagai plak cenderamata\u00a0di majlis-majlis keraian rasmi dan juga kepada delegasi luar negara.\nUntuk membuka sebuah galeri, sudah pasti memakan belanja yang tinggi. Oleh itu, sebagai penyelesaiannya, dapatlah kiranya dibuka satu ruangan khusus \u201cMengenali warkah Melayu\u201d\u00a0di mana-mana portal pihak berwajib. Selain itu, molek sekiranya dapat juga dimasukkan satu topik tentang warkah Melayu dalam pembelajaran karangan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah dan menengah agar generasi Malaysia dapat mengetahui\u00a0bahawa\u00a0kita pernah mempunyai \u00a0produk penulisan bertaraf antarabangsa dengan kuasa bahasa yang hebat pada suatu masa dahulu.\nTuai padi antara masak,\nEsok jangan layu-layuan,\nIntai kami antara nampak,\nEsok jangan rindu-rinduan.\n(Gurindam Jiwa)\n\u00a0\nProfesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad \u2212 Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, yang juga merangkap Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan." "Media Sosial dan Etika Komunikasi Menurut Imam Al-Ghazali\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKewujudan aplikasi sosial secara dalam talian pada hakikatnya adalah untuk memudahkan komunikasi dan membentuk jaringan atau rangkaian dalam kalangan pengguna agar dapat berkongsi maklumat, menyebarkan pengetahuan atau membuat promosi atau hebahan tentang sesuatu barangan dan perkhidmatan. Dengan adanya kepelbagaian aplikasi ini, komunikasi bukan sahaja boleh dilakukan secara nyata, tetapi juga secara bersemuka tanpa mengira masa dan lokasi. Perkongsian ilmu di laman sosial misalnya tidak hanya terhad pada penulisan, sebaliknya melalui pendekatan video, agar sesi pembelajaran menjadi lebih segar, interaktif dan bermanfaat.\nBerita atau isu terkini boleh disampaikan secara terus tanpa menunggu siaran berita di televisyen, manakala usahawan ataupun peniaga boleh memanfaatkan laman sosial dengan mengiklankan produk mereka. Di samping itu, mereka juga boleh berkongsi testimoni daripada pengguna atau pelanggan terdahulu tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk menampung kos pengiklanan yang tinggi menerusi media arus perdana seperti radio dan televisyen seperti kebiasaannya pada suatu masa dahulu.\nSenario sebegini secara tidak langsung telah membuka dimensi baharu kepada pengguna agar berupaya memanfaatkan teknologi untuk mengatur langkah bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing yang tinggi dalam mengharungi era kemajuan globalisasi yang serba kompetitif ini. Dengan kata lain, pengguna bukan sahaja perlu celik teknologi, namun pada masa yang sama perlu celik ilmu agar bijak menggunakan saluran yang betul sehingga dapat memberikan faedah berganda dalam kehidupan.\nSelain celik teknologi dan celik ilmu, pengguna juga perlulah celik etika, iaitu dengan mempunyai kesedaran terhadap etika penggunaan laman sosial khususnya berkaitan dengan hal ehwal komunikasi dan interaksi. Jujur, amanah, bersopan santun dan bercakap benar merupakan antara beberapa ciri asas yang seharusnya menjadi amalan ketika berkomunikasi dalam laman sosial. Realitinya, peningkatan aduan berkaitan dengan salah guna media sosial telah diterima sepanjang tahun 2022 sebagaimana yang telah dilaporkan oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada 31 Januari 2023 yang lalu.\nBerdasarkan statistik yang diterima dari Biro Aduan agensi tersebut, sebanyak 518 kes telah dilaporkan pada tahun 2022 berbanding dengan 412 kes pada tahun 2021. Aduan mengenai aplikasi WhatsApp mempunyai jumlah kes yang tertinggi, iaitu sebanyak 204 kes, diikuti oleh Facebook sebanyak 130 kes, Instagram sebanyak 68 kes, TikTok sebanyak 13 kes, dan Twitter hanya enam kes. Aduan tersebut meliputi jenayah buli siber, penyalahgunaan maklumat peribadi, kes penipuan cinta, hantaran yang menyinggung agama dan pelbagai isu yang ditularkan sehingga mengganggu ketenteraman dan menimbulkan kegusaran awam.\nJumlah kes yang meningkat ini telah mencetuskan kebimbangan terhadap penyalahgunaan platform media sosial dan sebagai langkah membendungnya, pengguna digesa agar mengambil berat tentang penglibatan dan tingkah laku mereka dalam talian. Dengan kata lain, pengguna perlulah menjadi rakyat dan warganegara yang baik dengan melahirkan sifat yang terpuji ketika berkomunikasi atau ketika menggunakan aplikasi media sosial kerana sebarang perbuatan negatif akan memberikan impak yang besar kepada masyarakat dan negara.\nOleh itu, konsep kawal selia kendiri amat penting kerana hal tersebut boleh membantu mengurangkan penciptaan dan peningkatan kandungan yang memudaratkan di laman media sosial. Walaupun pengguna media sosial diberi kuasa untuk memilih jenis kandungan yang ingin dipaparkan di media sosial, namun pada hakikatnya mereka perlu mengambil langkah kawal selia kendiri terhadap sebarang kandungan yang tidak sesuai dengan menggunakan fungsi sekat, redam, nyaikut dan membuat laporan sekiranya wujud elemen yang boleh mengancam privasi kehidupan dan keselamatan diri. Pengguna juga perlu mempunyai rasa tanggungjawab agar tidak melibatkan diri dengan penyebaran bahan atau kandungan bersifat negatif yang mampu memberikan ancaman dan kegusaran kepada orang lain. Dengan cara itu, ekosistem yang selamat dapat diwujudkan di laman media sosial dan memudahkan pengguna untuk berkomunikasi dengan baik dan mengambil faedah daripada kandungan-kandungan yang dipaparkan.\nTokoh pemikir yang sangat terkenal di dunia Islam dan Barat, Abu Hamid Mu\u1e25ammad bin Mu\u1e25ammad Al-\u1e6cusi Al-Ghazali yang lebih dikenali sebagai Imam Al-Ghazali (1058\u20131111) menggariskan 20 perkara yang perlu diberi perhatian dalam hal ehwal komunikasi sebagaimana yang dibahaskannya dalam karya yang paling berpengaruh, Ihya\u2019 Ulumuddin. Komunikasi atau lisan di sisi Imam Al-Ghazali pada hakikatnya termasuk antara nikmat pemberian Allah SWT yang mempunyai medan yang luas, yang tidak mempunyai jalan yang berkesudahan dan terbatas. Namun begitu, perkara tersebut boleh menarik manusia sama ada ke lapangan kebajikan atau kejahatan bergantung kepada kecenderungan manusia dalam menggunakan dan memanfaatkannya.\nPerkara pertama yang perlu dipelihara ketika berkomunikasi menurut Imam Al-Ghazali ialah tidak berkata-kata pada sesuatu yang tidak berfaedah atau dengan kata lain menjaga lisan dengan sebaik-baiknya. Beliau memetik kata-kata Imam Mujahid yang mendengar bahawa Saiyidina Ibnu Abbas R.A. pernah berkata tentang lima perkara yang lebih disukainya melebihi daripada kuda yang sudah disiapkan untuk ditunggangi. Perkara tersebut ialah pertama, tidak berkata-kata mengenai hal yang tidak penting kerana baginya, jika banyak berkata-kata walaupun terhadap sesuatu yang penting tetapi sekiranya tidak diletakkan pada tempat yang betul, pada akhirnya akan menimbulkan kesulitan.\nPerkara kedua ialah tidak bertengkar dengan orang yang lemah lembut dan orang yang bodoh kerana orang yang lemah lembut akan membalas kemarahan dalam hatinya manakala orang yang bodoh akan menyakiti dengan lisannya, manakala ketiga, menyebut perihal teman, iaitu tentang sesuatu yang disukainya sebagaimana mereka suka menyebut tentang diri kita dan memaafkannya sebagaimana mereka suka memaafkan kita. Perkara keempat, bergaul dengan teman dengan cara yang disukai sebagaimana mereka suka bergaul dengan kita; dan kelima, tidak melakukan sesuatu perbuatan melainkan dengan menyedari bahawa perbuatan yang baik akan dibalas dengan pahala dan perbuatan yang jahat akan mendapat dosa dan akan menerima pembalasan kelak.\nPerkara yang kedua ialah tidak berbicara secara berlebihan kerana perkara tersebut juga merupakan sesuatu perbuatan yang tercela. Menurut Imam Al-Ghazali, perkara ini turut termasuk dalam berbicara tentang sesuatu perkara yang tidak penting atau yang mendatangkan faedah kerana telah menambah perbicaraan melebihi keperluan. Orang yang mementingkan sesuatu pada mulanya mungkin akan menyebutkannya dengan perkataan atau ayat yang pendek, tetapi kemudian mula membesarkan, menetapkan dan kemudiannya melarat dengan mengulang-ulangnya. Sebagaimana yang dipetik oleh Imam Al-Ghazali tentang ucapan Imam Hasan Al-Basri yang menyatakan bahawa manusia yang banyak perkataannya nescaya akan banyak pula bohongnya. Hal ini terkait dengan keadaan manusia yang banyak hartanya, maka banyak pula dosanya dan manusia yang buruk akhlaknya, maka banyak pula seksaan terhadap dirinya.\nPerkara ketiga yang perlu diberi perhatian ialah tidak bercakap kosong tentang perkara yang batil. Imam Al-Ghazali mengklasifikasikan batil sebagai perbuatan maksiat yang merangkumi kisah tentang wanita, keadaan atau tempat meminum arak, tempat orang fasik, kesenangan orang-orang kaya, keperkasaan Raja-raja, tempat-tempat rasmi yang tercela dan hal ehwal mereka yang tidak disukai yang melibatkan percakapan tentangnya merupakan sesuatu yang terlarang. Oleh sebab itulah Imam Al-Ghazali menegaskan agar meninggalkan perbicaraan yang tidak penting kerana lambat laun seseorang itu akan bersenang-lenang untuk memperkatakan tentang kehormatan orang lain, menambah perisa pada cerita dan merosakkan jalan cerita yang sebenar kerana kesemuanya itu akan membawa kepada kebatilan dalam perbicaraan.\nPerkara keempat dalam etika komunikasi ialah tidak berbantah-bantahan atau bertengkar. Imam Al-Ghazali mencela orang yang berbantah-bantahan kerana tiap-tiap penentangan terhadap perkataan orang lain, pada akhirnya akan melahirkan kekurangan padanya. Oleh itu, cara terbaik untuk mengatasinya ialah dengan membenarkan sahaja jika kata-kata itu memang benar atau jika kata-kata itu ternyata bohong dan tidak menyangkut tentang hal ehwal agama, maka lebih baik berdiam sahaja. Adapun penggerak kepada pertengkaran adalah dengan mempunyai keinginan yang tinggi dalam melahirkan kelebihan pengetahuan yang ada pada dirinya dan menyerang orang lain dengan tujuan menzahirkan kekurangannya. Keinginan yang tinggi untuk melebih-lebihkan pengetahuan yang ada dalam diri dan pada masa yang sama merendah-rendahkan pendapat orang lain menghimpunkan sifat sombong dan suka menyakiti merupakan sifat yang sangat tercela yang harus dijauhi kerana boleh membinasakan diri sendiri.\nPerkara kelima adalah dengan tidak mendatangkan permusuhan dengan orang lain. Permusuhan merupakan sifat tercela kerana mampu menimbulkan gelombang untuk memperoleh kesempurnaan hak sesuatu yang dimaksudkan. Asalnya mungkin bermula daripada perbantahan atau pertengkaran maka atas sebab itulah kedua-dua sifat itu dilarang dan perlu dijauhi. Kesan buruk daripada permusuhan ialah perkara tersebut akan memenuhi dada dan mengobarkan kemarahan. Kemudian, timbullah hasad dengki dan pada akhirnya berasa gembira apabila maruah atau kehormatan lawan dapat dijatuhkan. Maka atas sebab itulah permusuhan dikatakan sebagai permulaan kepada kejahatan yang seterusnya.\nPerkara keenam yang dilarang adalah dengan tidak berkata-kata tentang sesuatu yang bukan di bawah keahliannya atau perkara-perkara yang boleh membangkitkan nafsu. Hal ini demikian kerana kata-kata yang dipaksa-paksa atau dibuat-buat atau sengaja difasihkan untuk melahirkan rasa seronok tetapi tidak mempunyai tujuan atau pengetahuan di dalamnya akan menjauhkan diri daripada kecerdikan dan boleh memudaratkan orang lain.\nPerkara ketujuh adalah berkaitan dengan kekotoran lisan, iaitu dengan mengeji dan memaki orang lain. Penggerak kepada kekejian adalah dengan maksud untuk menyakitkan orang lain dan lazimnya diperoleh hasil daripada pergaulan dengan orang-orang yang fasik dan orang-orang yang suka mencela orang lain apabila kebiasaan mereka adalah dengan memaki orang lain.\nPerkara kelapan yang juga merupakan lanjutan daripada perkara ketujuh adalah dengan tidak mengutuk orang lain. Perkara ini selaras dengan kenyataan Saiyidina Ibn Umar r.a yang dipetik oleh Imam Al-Ghazali yang menyatakan bahawa orang yang sangat dimarahi Allah SWT ialah orang yang mencela kemudiannya mengutuk orang lain. Menurut Imam Al-Ghazali, mendekati sifat mengutuk ini adalah dengan mendoakan sesuatu yang tidak baik kepada manusia lain.\nPerkara kesembilan adalah dengan meninggalkan syair dan nyanyian yang tidak mempunyai hikmah atau mempunyai kandungan yang dibenci dalam agama. Perkara ini termasuklah perkataan yang sia-sia dan susunan ayat yang boleh membangkitkan hawa nafsu yang boleh memberikan kesan negatif kepada pemikiran.\nPerkara kesepuluh ialah menjauhi senda gurau yang berlebihan kerana seseorang itu akan mewarisi sifat banyak tertawa sekiranya berlebih-lebihan dalam bergurau. Sifat banyak tertawa akan mematikan hati dan mewarisi kedengkian dalam sesetengah keadaan. Ketawa berlebihan juga akan melalaikan diri daripada akhirat. Selain itu, senda gurau yang berlebihan boleh menjatuhkan kehebatan diri dan kemuliaan seseorang.\nPerkara seterusnya ialah tidak mengejek atau memperolok-olokkan orang lain. Hal ini demikian kerana jika dilakukan, perkara tersebut boleh memalukan seseorang melalui kekurangannya dengan cara yang boleh menyebabkan seseorang itu ditertawakan, malah boleh menghina dan menjatuhkan maruah seseorang. Oleh itu, perbuatan tersebut dilarang kerana boleh menyakiti hati dan menyinggung perasaan orang lain.\nAntara lain, perkara yang perlu diketahui dan dijauhi termasuklah dengan tidak membuka rahsia, iaitu dengan menjaga hak sebagaimana yang telah diamanahkan oleh orang lain. Membuka rahsia merupakan satu pengkhianatan kerana hal tersebut akan menjadi haram jika disebarkan dan merupakan perbuatan yang sangat dicela jika rahsia itu disampaikan kepada orang lain.\nPerkara seterusnya adalah dengan tidak memungkiri janji. Perkara ini perlu diberi perhatian berat kerana memungkiri janji akan menyebabkan seseorang itu tergolong dalam kumpulan orang yang munafik. Terdapat empat tanda orang-orang yang munafik, iaitu pertama, apabila berbicara dia berdusta; kedua, apabila berjanji, dia menyalahi; ketiga, apabila diamanahkan, dia mengkhianati; dan keempat, apabila bermusuh-musuhan, dia menzalimi.\nTambahan pula, seseorang itu tidak seharusnya berdusta pada perkataan dan sumpah yang telah dilakukan. Hal ini dikatakan demikian kerana berdusta merupakan tanda atau sifat orang munafik dan orang yang berdusta termasuk dalam kalangan orang yang zalim di mana tempatnya adalah dalam neraka. Orang yang berdusta juga dianggap sebagai orang yang zalim kerana wujud pengkhianatan dalam perbicaraannya.\nPerkara seterusnya yang dianggap penting dalam penjagaan lisan ialah menjauhi diri daripada kejahatan mengumpat. Antara sebab yang boleh mendatangkan kejahatan tersebut ialah pertama, untuk melepaskan kemarahan; kedua, dorongan dari kawan-kawan agar melondehkan kehormatan orang lain; ketiga, bersengaja untuk memburukkan orang lain untuk mengalihkan kesaksian yang diketahui oleh orang tersebut; keempat, melepaskan diri daripada sesuatu kesalahan dengan meletakkan kesalahan tersebut pada orang lain; kelima, untuk membanggakan diri dengan cara merendahkan orang lain; keenam, dengki dan sakit hati kepada orang lain; ketujuh, menyatakan kekurangan yang ada pada orang lain dengan tujuan menarik perhatian ramai; dan kelapan, mempermainkan kehormatan orang lain dengan tujuan menghina dan mempersendakannya.\nSeterusnya, antara perkara yang perlu dijauhi ialah menabur fitnah. Imam Al-Ghazali dalam menghuraikan maksud fitnah ini telah memetik pendapat ahli falsafah yang mengatakan bahawa bercakap tentang sesuatu yang tidak benar kepada orang yang tidak bersalah akan menjadikan timbangannya itu lebih berat daripada langit manakala pembuat fitnah itu lebih hina daripada anak yatim. Kesan fitnah sangat dahsyat kerana boleh membawa kepada kerosakan sesama teman, mencerai-beraikan ahli keluarga, memutuskan tali persaudaraan dan mengajak orang ramai untuk mengeji orang yang tidak bersalah.\nSelain itu, sikap talam dua muka atau lidah bercabang juga perlu dijauhi kerana termasuk dalam kategori munafik yang memberikan mudarat yang besar di atas dunia dan balasan dosa yang berat di akhirat. Orang yang memiliki sifat ini mempunyai hati yang busuk walaupun luarannya kelihatan baik kerana tujuan utamanya adalah untuk mengambil untung daripada dua pihak yang sedang bertelagah. Dia memuji satu pihak dan mencela satu pihak lagi agar pihak yang dipujinya dapat memberikan imbuhan kepadanya dan begitulah sebaliknya kepada pihak yang satu lagi.\nDalam memelihara lisan, Imam Al-Ghazali juga mengingatkan supaya tidak memuji secara berlebihan yang tidak kena pada tempatnya kerana boleh mendatangkan mudarat bukan sahaja kepada yang dipuji tetapi juga yang memuji. Bahaya kepada pemuji adalah apabila dia sanggup berdusta semata-mata untuk mendapatkan habuan untuk dirinya, misalnya memuji pemerintah untuk mendapatkan habuan jawatan, pangkat, gelaran, dan harta; dan memuji seseorang untuk mendapatkan perhatian atau kecintaan seseorang tanpa menyelidik latar belakang orang itu sama ada zalim atau fasik. Manakala bahaya kepada orang yang dipuji ialah mereka akan menjadi megah atau sombong dengan pujian yang diterima dan tidak mahu meningkatkan prestasi diri kerana berasa diri telah hebat dan berada di kedudukan yang teratas.\nSeterusnya, menurut Imam Al-Ghazali, perkara yang berkaitan dengan urusan agama perlu diteliti dan perlulah berhati-hati. Hal ini demikian kerana kesalahan dalam membicarakan sesuatu boleh menyebabkan seseorang itu tergelincir daripada agama seperti menyekutukan Tuhan tanpa sedar dan berbahas dalam bidang agama tanpa mempunyai pengetahuan yang mendalam tentangnya, misalnya membicarakan sifat-sifat Tuhan sehingga akhirnya membawa kepada kekeliruan dan kebingungan dalam dirinya sendiri.\nWalaupun perkara yang ditulis oleh Imam Al-Ghazali ini telah pun melewati hampir 1000 tahun yang lalu, namun peringatan yang disampaikannya kekal relevan hingga ke hari ini, memandangkan perkara seperti inilah yang paling banyak berlaku dalam media sosial pada masa ini sehingga membawa kepada isu moral dalam kalangan masyarakat. Kesimpulannya, dalam konteks kawalan kendiri, maka wajarlah peringatan ini diberi perhatian dan diamalkan agar anasir negatif dapat dijauhi di samping mampu membentuk persekitaran komunikasi yang kondusif dan sejahtera." "Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan SUKMA Kedah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAlor Setar\u00a0\u2013 Atlet sukan Kedah yang membawa pulang pingat emas, perak dan gangsa menerima ganjaran dari kerajaan negeri sempena berlangsung Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan di Dewan Teratai, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah, semalam.\nMereka menerima ganjaran itu susulan daripada kemenangan dalam pelbagai acara sukan, termasuklah olahraga, memanah, renang dan lain-lain lagi dalam Kejohanan Temasya SUKMA kali ke-20, Majlis Sukan Negara (MSN) berlangsung pada 1 hingga 6 November 2022 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.\nMenteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd. Noor ketika berucap dalam majlis itu berkata,\nSaya mengucapkan syabas dan tahniah kepada atlet-atlet yang telah mengharumkan nama negeri Kedah kerana memenangi pingat tersebut.\n\u201cKontinjen Kedah berjaya memenangi sebanyak 39 pingat secara keseluruhan, iaitu 11 pingat emas, 16 pingat perak dan 12 pingat gangsa dan berada pada kedudukan kelapan daripada 15 negeri yang mengambil bahagian.\nMenurutnya, penganugerahan begini bukanlah suatu perkara baharu dan menjadi amalan berterusan setiap kali kejayaan atlet-atlet berkenaan dan yang belum berjaya, perlu tingkatkan latihan masing-masing.\nTerdahulu itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Kedah, Mohd. Firdaus Ahmad mengatakan bahawa kerajaan negeri sentiasa komited dan mengiktiraf semua atlet dan penggiat sukan.\n\u201cAtlet yang berjaya memenangi pingat emas menerima wang sebanyak RM3500, manakala pingat perak menerima sebanyak RM2000 dan pingat gangsa menerima sebanyak RM1000.\u201d\n\u201cJurulatih SUKMA juga diberikan ganjaran RM500 kepada setiap seorang bagi acara sukan yang dimenangi,\u201c katanya.\nTurut hadir Pegawai Belia Sukan Negeri Kedah, Mohd. Nizam Ismail, Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah, Zulzuraidy Othman dan Pengerusi Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (PESRON) Negeri Kedah, Siti Norbaya Romli." "Wanita Lahir Pendidik Modal Insan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap agar semua wanita yang telah dan bakal bergelar seorang ibu dapat menuntut ilmu keibubapaan supaya lebih bersedia untuk melahirkan dan mendidik modal insan yang terbilang dalam era globalisasi ini.\nSentuhan keibuan berkait rapat dengan pembinaan kemahiran insaniah kepada seseorang. Kemahiran insaniah merangkumi tujuh aspek penting, iaitu kemahiran berkomunikasi; kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis; kemahiran kerja berpasukan; pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat; kemahiran keusahawanan; etika dan moral profesion; dan kemahiran kepimpinan.\nApabila seorang ibu menggenggam tangan anaknya dengan memberi sokongan dan dorongan yang jitu kepada seorang anak, keyakinan dalam diri anak meningkat dan perasaan ingin melakukan yang terbaik dalam setiap matlamat yang ingin dicapai juga meningkat.\nMenurut baginda, sentuhan para ibu mampu untuk mendidik jasmani dan rohani anak-anak dengan cara yang lebih halus dan penuh kasih sayang.\nTitah baginda ketika berkenan merasmikan majlis pembukaan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) \u2013 Women in Search of Excellence bertajuk, \u201cSentuhan Keibuan Dalam Membangunkan Kemahiran Insaniah di Era Digital\u201d.\nWebinar Siri ke-20 tersebut adalah anjuran bersama antara YTF dengan Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE). Anjuran ini turut mendapat kerjasama teknikal daripada Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Negeri Perlis.\nTerdahulu, ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Pengerusi FCoEE yang memegang slogan \u201cInsentif Minda Pemangkin Bangsa\u201d, iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin.\nSesi awal menampilkan ahli panel Forum Bual Bicara yang terdiri daripada Prof. Dato\u2019 Gs. Dr. Narimah Samat, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Sains Malaysia; Prof. Madya Ir. Dr. Umi Fazara Md Ali, Pengarah Centre of Engagement, UniMAP; dan Wan Saniah Wan Yahya, Pengarah Pusat Kaunseling, UniMAP.\nSlot tersebut dimoderatorkan oleh Nurul Najha Saidin, Guru Cemerlang Bimbingan dan Kaunseling, SMK Agama Perempuan Kangar.\nMajlis penutupan perasmian pula telah disempurnakan pada sebelah petang oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merangkap Pengerusi YTF." "Perkasakan Budaya Ilmu: Hak dan Keadilan kepada Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerkasakan Budaya Ilmu: Hak dan Keadilan kepada Masyarakat\n\u00a0\nDalam Majlis Pelancaran karya agung Sayr al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada tengah hari, 17 April 2023, saya menyampaikan beberapa buah fikiran tentang usaha pemerkasaan budaya ilmu di negara ini, selaras dengan pelaksanaan Malaysia MADANI yang salah satu daripada terasnya ialah budaya ilmu.\nYAB Perdana Menteri sendiri telah memperjuangkan budaya ilmu sejak menjadi mahasiswa, khasnya melalui persatuan mahasiswa dan kemudian melalui persatuan bertaraf kebangsaan, iaitu Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM). Apabila beliau mengganggotai jemaah menteri, komitmennya kian ketara, terutamanya melalui kapasiti sebagai pemimpin negara. Kedudukannya sebagai Menteri Pendidikan pada pertengahan tahun 1980-an hingga awal tahun 1990-an meletakkan budaya ilmu sebagai teras utama dalam sistem pendidikan negara, khasnya melalui pengisytiharan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan terjemahannya dalam program-program di sektor pendidikan yang turut melimpah ke sektor lain di negara ini.\nKomitmen beliau terhadap budaya ilmu yang terbaharu ialah pengumumannya tentang peruntukan RM20 juta untuk pemerkasaan ilmu alam Melayu dan ilmu sejagat dalam Belanjawan 2023. Inilah kali pertama kerajaan memperlihatkan komitmen yang jelas untuk budaya ilmu, tuntutan yang sudah berdekad-dekad dikemukakan oleh pejuang ilmu dan budaya. Perhatian dan dukungan beliau kepada budaya ilmu secara khusus terkait dengan industri penerbitan buku dan industri kreatif (penerbitan karya pemikir besar sedunia dan alam Melayu, terjemahan dan persuratan, melalui peruntukan RM20 juta dalam Belanjawan Negara 2023, sebanyak RM5 juta peruntukan untuk mengangkat karya Sasterawan Negara, karya agung dan klasik yang melibatkan khazanah Melayu seperti yang saya sebut lebih awal).\nBahkan dengan mengimbas kembali sejarah DBP, pada tahun 1996 ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, beliau telah meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melantik DBP sebagai pembekal buku teks sekolah rendah dan sebahagian buku teks sekolah menengah untuk memperteguh kewangan DBP sebagai penggerak aktiviti bahasa, sastera dan penerbitan negara. Dalam kaitannya dengan majlis pelancaran dua buah karya agung terbitan Yayasan Karyawan Malaysia ini, sejarah jelas mencatatkan komitmen beliau dalam merealisasikan penubuhan yayasan itu pada tahun 1983 meskipun ketika itu beliau menjadi Menteri Pertanian.\nDalam upaya pemerkasaan budaya ilmu di negara ini, DBP melaksanakan program penerbitan berpakej dalam kerangka yang melibatkan dua pakej utama. Yang pertama ialah penerbitan berpakej merentas dua kategori ilmu yang utama, iaitu kategori ilmu tanzil atau keagamaan dan kategori ilmu duniawi. Paduan kedua-dua kategori itu menjadi asas budaya ilmu supaya tamadun negara tidak mengalami kepincangan apabila berlaku pemberatan yang tidak seimbang antara ilmu ukhrawi dengan ilmu duniawi. Berdasarkan anatomi bidang ilmu dalam bahasa Melayu yang diusahakan penggubalan istilahnya, terdapat sekitar 300 bidang ilmu induk, subbidang dan subsubbidang ilmu. Tanpa penghasilan karya ilmu, istilah yang berupa kelongsong ilmu itu tidak akan bermakna apa-apa. Maka itu, amat besar tantangan untuk pemerkasaan budaya ilmu yang mencakup ratusan bidang itu, yang sehingga kini memperlihatkan kelompongan yang ketara bagi sejumlah bidang ilmu.\nPenerbitan berpakej yang kedua berasaskan keperluan ilmu merentas khalayak menurut usia dan kelompok (seperti dewasa ilmuwan, dewasa umum, remaja dan kanak-kanak). Hal ini ada kaitannya dengan hak dan keadilan memperoleh ilmu bagi semua khalayak dalam masyarakat. Penerbitan yang menjurus kepada pemenuhan hak dan keadilan memperoleh ilmu bagi kelompok tertentu sahaja secara jelas merupakan penafian hak dan keadilan memperoleh ilmu bagi kelompok yang tidak diprogramkan penerbitan bagi mereka. Maka itu, penerbitan berpakej berasaskan khalayak ini perlu menimbangkan strategi penerbitan berperingkat (graded reading materials), sesuai dengan laras bahasa dan gaya persembahan menurut kelompok sasar. Anak didik tidak perlu menunggu sehingga ke peringkat pendidikan tinggi untuk mendapatkan pendedahan tentang ilmu tertentu atau inti sari pemikiran tokoh, seperti al-Kindi, al-Biruni, al-Farabi, al-Ghazali, Socrates, Plato, Aristotle, Rene Descartes, Kung Futze dan sebagainya.\nPerancangan dan pelaksanaan penerbitan berpakej ini sekali gus berupaya juga memenuhi ketetapan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau United Nations Educational Scientific and Cultural Organisation (UNESCO) agar negara yang maju tahap pendidikannya perlu menerbitkan 0.01 peratus judul tahunan bernisbahkan jumlah penduduk negara. Dengan anggaran 30 juta orang penduduk di negara ini, setiap tahun negara perlu menerbitkan sekurang-kurangnya 30 000 judul terbitan. Tanpa strategi penerbitan berpakej yang melibatkan sinergi semua badan penerbit negara, termasuk Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), Yayasan Karyawan Malaysia, penerbit universiti, penerbit badan penyelidikan dan penerbit swasta, cita-cita untuk menghasilkan 30 000 judul terbitan setahun mungkin menjadi utopia belaka.\nBerkaitan dengan manuskrip Melayu lama, usaha mengangkatnya sebagai warisan tamadun dan sumber ilmu kearifan watan patut menjadi satu daripada upaya pemerkasaan budaya ilmu. Tidak cukup, malah tidak bererti apa-apa kebanggaan akan adanya puluhan ribu manuskrip Melayu lama yang tersebar di seluruh dunia (termasuk sekitar 5000 di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan 400 di Pusat Dokumentasi Melayu, DBP). Yang sesungguhnya bererti ialah usaha bersinergi dengan semua badan pengajian dan penyelidikan tamadun alam Melayu untuk mengerjakan manuskrip tersebut bagi tujuan diterbitkan dalam bentuk yang dikenal sebagai karya agung dan juga dalam bentuk terbitan turunan, seperti penerbitan digital dan elektronik yang berasaskan industri kreatif (animasi, multimedia, aplikasi, dokudrama, lakon layar atau filem, dan hatta komik). Terbitan pelbagai bentuk turunan itu penting dalam rangka memasyarakatkan kandungan manuskrip Melayu lama kepada pelbagai khalayak. Usaha mengerjakan manuskrip Melayu lama itu juga penting untuk memaknai pengiktirafan UNESCO kepada sejumlah teks sebagai warisan dunia, misalnya Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah, Kitab Bedil, Pantun, Hikayat Panji dan beberapa yang lain. Sebagai warisan dunia, amat penting dianalisis dan diketengahkan kepada masyarakat setempat dan antarabangsa kandungan manuskrip yang mewakili ranah penting tamadun, seperti pensejarahan, ketatanegaraan, undang-undang, perubatan, persenjataan, diplomasi dan segala peri hikayat dan ceritera.\nPerancangan dan pelaksanaan yang sebahagiannya telah berlangsung tetapi perlu distrategikan dengan lebih kemas dan intensif meliputi beberapa hal, iaitu:\nYang pertama ialah program pelatihan pentransliterasi Jawi klasik. Kini kemahiran membaca Jawi klasik amat terbatas dan sebagai prasyarat untuk menerbitkan semula manuskrip Melayu lama yang tertulis dalam Jawi klasik, jumlah penyelidik yang cukup diperlukan untuk melakukan alih huruf atau transliterasi. Akademi DBP dan badan lain yang merupakan pemegang kepentingan manuskrip Melayu lama perlu menggerakkan pelatihan secara intensif untuk melahirkan peneliti yang berkemahiran dalam Jawi klasik.\nKedua, perancangan dan pelaksanaan analisis kandungan manuskrip berdasarkan ranah seperti ketatanegaraan, pensejarahan, perubatan dan yang lain-lain. Pemetaan yang tuntas diperlukan. Selain itu, turut diperlukan proses menguasai kodikologi, iaitu kemahiran pemuliharaan manuskrip yang dapat diperoleh daripada sumber tertentu.\nSelanjutnya, seperti yang saya sentuh lebih awal, perlu direncanakan penerbitan dalam bentuk karya agung, edisi saduran, edisi yang dipermudah dan bentuk terbitan turunan lain (animasi, multimedia, dokudrama, lakon layar, komik dan bentuk terbitan industri kreatif yang lain), dalam rangka pemasyarakatan di peringkat negara dan dunia. DBP pernah mengemukakan kertas projek bernilai RM35.2 juta kepada kerajaan pada tahun 2021. Mudah-mudahan peruntukan khas untuk tujuan itu dapat juga ditimbangkan oleh kerajaan." "HPSP Meraikan Anak Yatim dan Asnaf Negeri Kedah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani\u00a0\u2013 Sebanyak 90 orang anak yatim dan anak asnaf di negeri Kedah diraikan oleh kakitangan Hospital Pantai Sungai Petani (HPSP) di Hotel Swiss Avenue Sungai Petani, Kedah semalam.\nKesemua kanak-kanak tersebut dari Akademi Darul Iftak Sungai Layar Hujung, Sg Petani, Pusat Jagaan Kanak-Kanak Insan Berkat Sg Petani, Rumah Gemilang Sik dan Pertubuhan Anak Yatim Jariah Qaseh Bandar Amanjaya Sungai Petani.\nKetua Pegawai Eksekutif HPSP, Tio Bee Chan berkata, \u201cApabila diraikan seperti ini, mereka berpeluang untuk menikmati pelbagai jenis makanan pilihan masing-masing dalam keadaan begitu ceria sekali.\u201d\n\u201cTerima kasih diucapkan kepada semua kerana sudi meluangkan masa dan memenuhi jemputan untuk sama-sama berbuka puasa sempena bulan Ramadan di tahun ini,\u201d ujarnya.\nTambahnya, Ramadan bukan hanya bulan untuk menahan dahaga dan lapar, namun bulan ini juga mengajar erti sabar, pengorbanan dan rasa syukur dengan rezeki yang diberikan oleh Tuhan.\nProgram tersebut merupakan aktiviti amal tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi meraikan anak-anak yatim dan golongan asnaf yang dianjurkan buat julung-julung kalinya selepas pandemik COVID-19 melanda negara.\nTio Bee Chan turut memaklumkan bahawa objektif utama program tersebut diadakan adalah untuk mewujudkan keprihatinan terhadap golongan yang kurang berkemampuan dalam bulan Ramadan ini.\n\u201cSaya berharap lebih banyak syarikat khususnya badan korporat yang lain untuk bersedekah dan beramal, sama ada untuk golongan anak yatim, ibu tunggal atau golongan asnaf yang kurang berkemampuan di negeri ini,\u201c ulas beliau lagi.\nPada masa yang sama, beliau turut memberikan sumbangan dan hadiah Hari Raya kepada kanak-kanak itu serta hamper kepada pihak pengurusan pusat kanak-kanak berkenaan.\nPegawai Perhubungan Awam HPSP, Noor Yasmin Farahanim Abd Wahab berkata bahawa melalui program seumpama ini dapat mewujudkan hubungan baik \u00a0antara kakitangan HPSP dengan pihak luar di negeri Kedah, amnya." "Peranan Wanita dalam Pembangunan Kemahiran Insaniah Anak-anak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Wanita atau ibu merupakan tonggak utama dalam membangunkan kemahiran insaniah anak-anak dalam arus digital. Walaupun pada zaman ini, rata-rata para ibu juga adalah berkerjaya tetapi kepentingan utama bagi seorang ibu adalah keluarga.\nKemajuan digital memudahkan komunikasi dan interaksi dalam kalangan ahli keluarga meskipun mereka berada jauh di antara satu sama lain. Hubungan ahli keluarga dan masyarakat menjadi lebih akrab dibantu oleh kemajuan era ini.\nDemikian titah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Puan Muda Perlis,\u00a0 Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ketika berkenan merasmikan Penutupan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) \u2013 Women In Search of Excellence yang bertajuk Sentuhan Keibuan Dalam Membangunkan Kemahiran Insaniah di Era Digital.\nWebinar Siri ke-20 tersebut merupakan anjuran bersama antara pihak YTF dengan Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE). Webinar tersebut turut mendapat kerjasama teknikal daripada Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Negeri Perlis.\nSebelum titah Tuanku Raja Puan Muda merangkap Pengerusi YTF, turut disampaikan ialah ucapan oleh Pengerusi FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin.\nWebinar pada kali ini turut disertai oleh panel wanita dan pakar dari universiti dalam dan luar negara seperti Prof. Dr. Lua Pei Lin; Prof. Adjuct Dr. Marniati, Rektor Universitas Ubudiyah, Indonesia; Prof. Dr. Xiaoyang Muo, University of Yamanashi, Jepun; serta Prof. Madya Dr Amani Ali, mantan pensyarah UniMAP berasal dari Mesir. Manakala Anis Jazilah Azmin yang merupakan Pengarah Pusat Bahasa dan Pengajian Umum, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) bertindak sebagai Pengulas.\nPerasmian pembukaan pada sebelah paginya disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizzuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail\u00a0yang juga Penasihat DiRaja YTF." "Aidilfitri: KPM Bantu 10 Guru, 48 Keluarga Pulang ke Sabah dan Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Syarikat Penerbangan Air Asia bagi membantu guru dan ahli keluarga yang terlibat untuk mendapatkan tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak, sempena perayaan Aidilfitri ini.\nMenurut KPM, pihaknya cakna dan memahami kesulitan akan keperluan tiket penerbangan bagi para guru yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing.\nSebanyak 10 orang guru yang terdiri daripada pelbagai kaum bersama-sama 48 orang ahli keluarga mereka mengalami kesukaran untuk mendapatkan tiket penerbangan pulang berhari raya ke negeri Sabah dan Sarawak.\nSehubungan dengan itu, kesemua guru dan ahli keluarga berkenaan telah memulakan penerbangan menaiki penerbangan Air Asia seawal 17 April 2023 dengan menggunakan Waran Perjalanan Udara Awam yang layak diterima.\nMengulas lanjut, KPM memaklumkan bahawa semua penjawat awam yang layak menerima Waran Perjalanan Udara Awam masih menerima manfaat seumpamanya.\nPada masa yang sama, KPM menegaskan bahawa hebahan palsu berkenaan tiket penerbangan percuma pada musim perayaan seperti yang diuar-uarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dalam adalah tidak benar dan berniat untuk mengelirukan orang ramai.\nJelas KPM, perkara tersebut sedang dalam siasatan pihak polis.\n\u201cKPM sentiasa komited untuk terus memastikan kesejahteraan dan kebajikan para guru sentiasa dipelihara,\u201d menurut KPM dalam kenyataan media pada petang ini.\nSumber foto: Farid DBP" "PM Umum Tol Rahmah Percuma dan Cuti Tambahan Aidilfitri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Perdana Menteri Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim mengumumkan\u00a0 bahawa kerajaan bersetuju memberikan Tol Rahmah percuma selama empat hari kepada semua jenis kenderaan di 33 lebuh raya di negara ini yang bermula pada 19 \u00a0April 2023 hingga 21 April 2023, serta 24 April 2023 ini bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.\n\u201cKerajaan bersetuju melaksanakan Tol Rahmah percuma, iaitu pengecualian bayaran tol selama empat hari untuk dinikmati oleh semua pengguna jalan raya yang pulang ke kampung halaman,\u201d katanya dalam sidang media khas di Putrajaya,\u00a0 pada petang ini.\nTidak cukup dengan berita gembira itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa satu hari cuti kelepasan am tambahan diberikan bagi memudahkan rakyat membuat perancangan sewajarnya untuk \u00a0pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri.\nSekiranya 1 Syawal jatuh pada hari Jumaat , iaitu 21 April 2023, maka kerajaan akan menetapkan pada hari Isnin, iaitu 24 April 2023 sebagai kelepasan am berdasarkan Seksyen 8 Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan. Walau bagaimanapun, andai tarikh 1 Syawal jatuh pada hari Sabtu, iaitu 22 April 2023, \u00a0maka hari Jumaat, 21 April 2023 sebagai hari kelepasan am tambahan.\nDalam sidang media yang sama, Perdana Menteri turut mengumumkan diskaun saman trafik pada tarikh antara 21 April 2023 hingga 21 Mei ini.\nSemua saman polis itu, ujarnya akan dikenakan kompaun sebanyak RM50 sahaja. Walau bagaimanapun, tawaran tersebut tidak terpakai terhadap kesalahan lalu lintas yang dilakukan pada tahun ini." "Pemangku Raja Perlis Berkenan Merasmikan Sambutan 100 Tahun The Old Frees\u2019 Association\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGeorgetown \u2013 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-100 The Old Frees\u2019 Association (OFA) yang diadakan di The OFA Building, Jalan Sultan Ahmad Shah, Georgetown, Pulau Pinang, baru-baru ini.\nTurut berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.\nKeberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Presiden OFA, Andrew Lim Chong Huat; Presiden OFA Kuala Lumpur dan Selangor, Ivan Ooi Jieun Vei; dan Setiausaha Kehormat OFA, Alex Tan Hee Aik.\nMajlis turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran kira-kira 50 orang tetamu terdiri daripada bekas Presiden serta kepimpinan OFA.\nPada kemuncak majlis, Tuanku Pemangku Raja berkenan melancarkan plak khas yang telah ditandatangani oleh Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di sisi pintu masuk utama bangunan OFA tersebut.\nTuanku Syed Faizuddin Putra dalam titah baginda\u00a0turut memuji pasukan pancaragam sekolah tersebut yang menampilkan para peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum dan semangat perpaduan sebegini mesti dikekalkan, malah ditambah baik di masa hadapan.\nBaginda turut mencadangkan,\nInisiatif baharu melalui program penghantaran beberapa pelajar dari Perlis ke Penang Free\u00a0School pada setiap tahun melalui kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan Yayasan PFS supaya dapat dipertimbangkan.\nPada majlis yang sama, Andrew Lim menyembah maklum bahawa kekuatan OFA terletak pada perpaduan. Sebagaimana pengasas kita bersatu untuk membina sesuatu yang hebat, maka begitu juga dengan kita agar terus bekerjasama untuk memastikan persatuan kita ini kekal dan memberi banyak kebaikan pada tahun-tahun mendatang.\nTambahnya lagi,\nKita haruslah berganding bahu untuk terus melahirkan cendekiawan, ahli sukan dan tokoh akademik dan terus menjadi produk terbaik Penang Free School.\nDalam majlis tersebut juga, kapsul masa yang diisi dengan memorabilia, gambar dan mesej ditanam di dalam kawasan rumah kelab oleh DYMM Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin bagi mewakili DYMM Tuanku Syed Sirajuddin dan bakal dibuka kembali selepas 50 tahun, iaitu pada tahun 2073.\nPara hadirin turut dihiburkan dengan persembahan istimewa oleh Pancaragam Penang Free School.\nSebagai rekod, Keluarga DiRaja Jamalullail Perlis mempunyai tradisi tiga susur galurnya merupakan alumni sekolah Inggeris tertua di Asia Tenggara tersebut iaitu Almarhum Tuanku Syed Putra, Tuanku Syed Sirajuddin sendiri dan juga Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail setakat ini." "Keputusan Penawaran dan Penempatan Murid Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA)\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini memaklumkan bahawa keputusan penawaran serta penempatan murid Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 kategori rayuan ke Sekolah Khusus, iaitu Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) bagi Kalendar Akademik sesi 2023/2024 akan dikeluarkan pada 20 April 2023 (Khamis).\nKPM memaklumkan bahawa semakan keputusan boleh dibuat melalui pautan yang berikut:\nBagi kategori rayuan ini, sebanyak 1783 orang murid Tingkatan 1 dan sebanyak 404 orang murid Tingkatan 4 telah ditawarkan ke SBP, manakala sebanyak 1886 orang murid Tingkatan 1 dan sebanyak 971 orang murid Tingkatan 4 pula ditawarkan ke SMKA. KPM mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua murid yang berjaya ditawarkan dan selamat maju jaya.\nKPM sentiasa komited untuk terus memastikan setiap murid di Malaysia mendapat hak untuk akses kepada pendidikan yang lebih berkualiti." "Kesan Perkembangan Bahasa Melayu di China kepada Hubungan Diplomatik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPandangan dari kaca mata sebagai mantan diplomat yang diberi tanggungjawab untuk memperkasakan hubungan pendidikan Malaysia\u2013China telah melibatkan perkembangan yang cukup positif dalam hubungan diplomasi pendidikan Malaysia\u2013China. Penulis merupakan seorang daripada diplomat yang telah diberi amanah untuk bertugas di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, China selama tujuh tahun. Dari aspek perkembangan pendidikan, dapat dilihat begitu pesatnya permintaan negara tembok besar China dalam menggalakkan institusi pendidikan tinggi untuk menawarkan kursus Pengajian Melayu kepada para pelajar mereka.\nDalam perkongsian penulis semasa Seminar Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi (SPPT) 2022, yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi dan Universiti Islam Sains Malaysia pada 29 September 2022 telah membawa naratif bagaimana perkembangan bahasa Melayu di China memberikan kesan kepada hubungan diplomasi Malaysia\u2013China. SPPT 2022 ini yang bertemakan \u201cMelonjakkan Aspirasi Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi yang Mapan\u201d telah berjaya disempurnakan perasmiannya oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi.\nMelihat dari aspek sejarahnya, menurut Awang Sariyan\u00a0(2009) dalam bukunya,\u00a0Mencari Makna Diri Melayu menyatakan bahawa interaksi tamadun Melayu\u2013China mengikut rekod Ming Shi Lu (Rekod Hal Ehwal Dinasti Ming) menjadi sumber utama yang memerikan hubungan dengan Kesultanan Melaka pada abad ke-15. Beliau turut menyentuh mengenai teks seperti Ming Shi\u00a0(Sejarah Dinasti Ming), Ming Tong Dian\u00a0(Almanak Umum Dinasti Ming), Ming Hui\u00a0Dian (Kumpulan Dokumen Dinasti Ming), Xian Bing Lu\u00a0(Rekod Tetamu Negara), Deng Tan Bi Jiu\u00a0(Catatan Hal Ehwal Kerajaan) serta tulisan cendekiawan China yang mendampingi Laksamana Zheng He (Cheng Ho) dalam kunjungan ke alam Melayu.\nSeorang sarjana dari China, iaitu Profesor Liang Liji, seorang sarjana dan pengkaji bahasa Melayu\u2013Indonesia dari Universiti Peking, dalam buku Hubungan Empayar Melaka\u2013Dinasti Ming Abad Ke-15\u00a0(1996) antara lain menyebut bahawa hubungan China dengan Alam Melayu melonjak ke peringkat yang lebih tinggi sesudah munculnya Dinasti Tang (618-907 Masihi) dan Empayar Sriwijaya (abad ke-7).\nKita juga dapat melihat perkembangan bahasa Melayu yang cukup menarik,\u00a0iaitu adanya kamus berjudul Man La Jia Guo Yi Yu\u00a0(Senarai Perkataan Negeri Melaka) yang dipercayai meliputi kosa kata dari zaman awal hubungan Dinasti Ming dengan Kerajaan Melayu Melaka (1403-1511). Kamus itu terdiri daripada 482 entri kosa kata China yang dianggap penting dan dikategorikan kepada 17 bidang, iaitu astronomi, geografi, musim dan masa, tumbuh-tumbuhan, unggas dan haiwan, rumah dan istana, peri kelakuan, tubuh badan, barang emas dan permata, kemasyarakatan dan sejarah, warna, hitungan, dan kata umum.\nDalam konteks sejarah moden, Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang menjalin hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China, iaitu pada 31 Mei 1974. Seperti yang dinyatakan Awang Sariyan, hubungan yang pada mulanya lebih tertumpu pada bidang ekonomi (khususnya perdagangan dua hala) beransur-ansur melebar dalam bidang pelancongan, pendidikan dan kebudayaan. Dokumen perjanjian antara Malaysia dengan China, iaitu Perkongsian Strategik Komprehensif, semasa lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia pada tahun 2013 itu secara jelas menunjukkan asas pembinaan dan persefahaman bahasa di peringkat awal menjadi pemangkin hubungan diplomasi Malaysia\u2013China yang lebih utuh.\nBerdasarkan artikel yang ditulis oleh Prof.\u00a0Dr.\u00a0Su Yingying dan Dr.\u00a0Han Xiao yang diterbitkan pada 26 Mei 2022 di akhbar Berita Harian menyatakan bahawa perkembangan bahasa Melayu bermula pada tahun 1962 di Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU),\u00a0yang merupakan universiti pertama yang menawarkan kursus Bahasa Melayu di China dengan Profesor Wu Zongyu sebagai pengasas dan perintisnya.\nRentetan usaha ini menjadi pendorong bagi\u00a0penawaran dan perkembangan kursus Bahasa Melayu di China dan hingga kini,\u00a0institusi pengajian tinggi di seluruh China yang menawarkan Program Ijazah Bahasa Melayu telah mencecah 13 buah\u00a0yang\u00a0membabitkan 11 buah universiti dan dua buah kolej.\nMenurut statistik,\u00a0setakat Mei pada tahun ini, sejumlah 41 orang pensyarah China dan tujuh orang pakar asing dari Malaysia menjadi tenaga pengajar di 13 institusi pengajian tinggi China. Kita juga dapat melihat bahawa sejumlah 457 orang siswa peringkat sarjana muda dan enam orang sarjana sedang belajar di kampus. Hasilnya,\u00a0sejumlah 965 orang lepasan peringkat sarjana muda dan 10 orang sarjana berjaya menamatkan pengajian masing-masing dalam tempoh 60 tahun ini.\nPemerhatian juga boleh dilihat kepada\u00a0program Pengajian Melayu di China yang berfokuskan\u00a0pengajaran bahasa dan persuratan Melayu, bermatlamat untuk memupuk individu yang mahir menguasai kebolehan mendengar, bertutur, memahami dan berkebolehan menterjemah apa-apa\u00a0sahaja bahan yang berkaitan dengan bahasa Melayu.\nDi samping itu, jurusan-jurusan Bahasa Melayu di China tidak terhad kepada kajian bahasa Melayu sahaja, sebaliknya merangkumi kajian kebudayaan dan kemasyarakatan Melayu. Sesungguhnya kita amat berasa bertuah kerana sokongan dan dokongan kerajaan China yang mengiktiraf perkembangan bahasa asing di China.\nAdalah menjadi aspirasi Malaysia\u2013China agar hubungan organik yang terbina ini terus utuh dengan semangat persahabatan yang tinggi, ibarat pepatah Melayu \u201cBukit sama didaki, lurah sama dituruni\u201c (pepatah ini telah diungkapkan dalam bahasa Melayu oleh Presiden Xi Jinping sendiri di APEC Economic Leaders\u2019 Meeting (AELM) pada November 2020) dan sentiasa mempunyai persefahaman dalam merencanakan agenda ekonomi, sosial, budaya dan pendidikan.\nHakikatnya, perkembangan Bahasa Melayu di China ini benar-benar memberikan kesan kepada hubungan Diplomasi Malaysia\u2013China yang bukan sahaja dalam bidang pendidikan namun pada asasnya bidang seperti ekonomi dan pelaburan antara kedua-dua buah negara yang memberikan kesan yang sangat positif. Kalau kita melihat beberapa angka, iaitu dagangan dua hala pada tahun 2021 mencecah USD 176.8 billion, iaitu pertumbuhan sebanyak 34.5 peratus. Manakala pada\u00a0 bulan Julai tahun ini, jumlah perdagangan ialah 114.5 billion dolar Amerika, iaitu peningkatan sebanyak 20.7 peratus.\nKita juga amat kagum dengan angka pelaburan, iaitu pelaburan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, China merupakan pelabur yang paling besar di Malaysia, membabitkan 46 projek dengan jumlah pelaburan sebanyak USD 10.8 billion. Ini semua juga disokong dengan perkembangan positif berkaitan dengan pertukaran pelajar antara kedua-dua buah negara, iaitu sebelum pandemik, terdapat 16 000 ribu pelajar China di Malaysia. Pada waktu ini, terdapat 28 500 pelajar China yang berdaftar untuk belajar di Malaysia.\nKesimpulannya, pengamatan penulis selama bertugas di China dan diberi sepenuhnya sokongan oleh Raja Dato Nushirwan Zainal Abidin, Duta Besar Malaysia ke China memperlihatkan keperluan yang cukup kritikal untuk semua pihak melihat perkembangan bahasa Melayu di China ini. Konsul-konsul Jeneral Malaysia di China juga sangat aktif menyediakan sesi libat urus dengan pelajar-pelajar jurusan Bahasa Melayu dengan menawarkan peluang persembahan dan aktiviti kebudayaan Malaysia khasnya ketika sambutan perayaan Malaysia.\nMelalui kerjasama Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), Dewan Bahasa dan Pustaka dan diselaraskan oleh pejabat Pendidikan Malaysia Beijing telah membuat penyaluran bahan-bahan bacaan dalam bahasa Melayu ke universiti-universiti yang menawarkan Pengajian Bahasa Melayu. Raja Dato\u2019 Nushirwan pernah mengungkapkan bahawa hubungan Malaysia\u2013China ini bertunjangkan hubungan organik yang cukup erat dan perlu didasari dengan nilai-nilai persefahaman dan persahabatan yang tinggi. Untuk mencapai semua itu, sudah pastinya berasaskan kemampuan kedua-dua pihak untuk meningkatkan pemahaman dari segi bahasa dan budaya.\n\u00a0\n\u00a0\nPelajar Sarjana Falsafah (Kajian Bahasa) Universiti Kebangsaan Malaysia, yang juga mantan Penasihat (Pendidikan), Kedutaan Besar Malaysia, Beijing,\u00a0China." "Aidilfitri: Kawalan Kendiri Elak Jangkitan COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau\u00a0\u2013 Pemangku Raja Perlis,\u00a0Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis,\u00a0Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil mengingatkan semua rakyat agar sentiasa mengambil langkah berhati-hati, terutamanya sewaktu perayaan Aidilfitri yang menjelang tiba ini.\nTitah baginda, setiap orang harus mengingatkan keluarga masing-masing supaya sentiasa berhati-hati dan mengambil segala langkah pencegahan yang sesuai terhadap penularan COVID-19 yang masih wujud hingga ke hari ini.\nSemoga pada hari istimewa ini akan membawa keceriaan, kemakmuran dan kesejahteraan yang berpanjangan kepada semua umat Islam untuk meraikan nikmat setelah sebulan berpuasa.\nRaikanlah hari kemenangan yang berbahagia ini bersama-sama insan yang tersayang, sahabat handai, masyarakat setempat dan seluruh kaum muslimin serta muslimat, untuk sama-sama bantu-membantu antara satu sama lain dalam meraikan serta memeriahkan lagi hari yang penuh bermakna ini.\nDemikianlah titah baginda selepas berkenan berangkat menghadiri Majlis Mesra Ukhwah Silaturahim 2023 bersama warga petugas Istana Arau yang diadakan di Bilik Menghadap Kuning Istana Arau, hari ini.\nPada kesempatan yang sama, Tuanku Raja Muda\u00a0turut berpesan,\nPengguna jalan raya yang ingin membuat perjalanan jauh perlu sentiasa cakna akan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan yang dikeluarkan oleh PLUS Malaysia Berhad.\n\u201cRancanglah perjalanan masing-masing supaya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di lebuh raya, kawasan rehat dan plaza tol pada musim perayaan yang akan menjelang tiba.\nTambah baginda, pengguna jalan raya juga haruslah memandu dengan secara berhemah, selain mendapatkan rehat yang mencukupi, patuhi had laju dan berhati-hati di jalan raya.\nBaginda mendoakan agar semua selamat sampai pergi dan balik ke destinasi yang dituju ke pangkuan keluarga tersayang di kampung halaman." "Program Semarak Rahmah Ramadan: Santuni Petugas HSAH\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani \u2013 Sebanyak 2800 orang petugas di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, Kedah menerima\u00a0 sumbangan makanan menjelang Hari Raya Aidilfitri dari pelbagai pihak bersempena dengan Program Semarak Rahmah Ramadan.\nProgram tersebut merupakan anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Daerah Kuala Muda, Rahmat Jutamas Sdn. Bhd. bersama-sama rakan kolaborasi Co-op Bank Cawangan Sungai Petani, Lembaga Pelawat HSAH, Jabatan Penerangan Daerah Kuala Muda, dan Pasar Raya Central Square Sungai Petani.\nPegawai JPNIN Daerah Kuala Muda, Encik Mohd Fakhzan Nasir berkata, sekurang-kurangnya sebanyak 703 orang pesakit yang berada di HSAH akan menikmati makanan yang akan diedarkan menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini.\nMenurutnya lagi:\nTerima kasih kepada Pengarah HSAH Sungai Petani, Dr. Mithali [email\u00a0protected] Sapen kerana menerima sumbangan makanan dan bubur lambuk yang diberikan ini. Terima kasih juga kepada semua pihak kerana memberikan kerjasama dengan menghulurkan bantuan makanan lain bagi menceriakan semua petugas dan pesakit di hospital ini.\nEncik Mohd Fakhzan Nasir berkata, usaha yang diadakan ini secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan yang baik antara satu sama lain. Hal ini juga termasuklah semasa program mengacau bubur lambuk yang diadakan di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Dewan Taman Bandar Baru Sungai Lalang.\nMenurutnya lagi:\nAktiviti kolaborasi seperti ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang kerana memberikan banyak kebaikan dalam usaha untuk memupuk perasaan kasih sayang antara masyarakat pelbagai kaum.\nTurut hadir sama, Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat HSAH Sungai Petani, Encik Khairul Anuar Zainol, Ketua Pegawai Operasi Pemasaran Proton Rahmat Jutamas Sdn. Bhd. YBhg. Dato\u2019 Ahmad Tajuddin Othman, Pegawai Penerangan Daerah Kuala Muda, Encik Jamil Zainul, Pegawai Pembiayaan dan Pemasaran Co-op Bank Cawangan Sungai Petani, Encik Mohamad Al Muttaqin Mohamad Zamri serta Pegawai Perhubungan Awam Central Square Sungai Petani, Encik Harmizal Che Omar" "Pemangku Raja Perlis Berkenan Berangkat Menunaikan Solat Sunat Aidilfitri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenaan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama lebih 1000 orang jemaah di Dataran Istiadat Perkarangan Istana Arau pada pukul 8.00 pagi semalam.\nTurut hadir mengiringi baginda ialah Menteri Besar Perlis, Yang Berhormat Ustaz Mohd Shukri Ramli dan barisan pembesar serta kepimpinan negeri Perlis.\nDYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra bersama-sama masyarakat dalam kariah Kota Raja Arau menunaikan solat sunat itu, dipimpin oleh Imam Besar Negeri, Ustaz Ahmad Sirajuddin Abdul Satar. Mufti Negeri, Yang Berbahagia Profesor Dato\u2019 Arif Perkasa Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin pula menyampaikan khutbah.\nSebelum berangkat meninggalkan dataran, baginda berkenan meluangkan masa beramah mesra dengan sekalian yang hadir.\nSelepas majlis tersebut, Tuanku Pemangku Raja menasihatkan semua jemaah yang hadir bahawa,\n\u00a0Dalam kita asyik menjamu selera dengan juadah yang pelbagai, aspek kebersihan makanan perlulah sentiasa diberikan perhatian utama bagi menjamin makanan yang disajikan tersebut dalam keadaan baik dan dapat mengelakkan masalah seperti keracunan makanan." "Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis Menzahirkan Ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1444 Hijrah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis,\u00a0 DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri 1444 Hijrah, maaf zahir dan batin dengan tulus ikhlas kepada seluruh umat Islam tidak kira di mana-mana sahaja mereka berada. Ucapan khusus turut dititipkan oleh baginda berdua kepada rakyat negeri Perlis yang dikasihi, kaum kerabat serta kenalan.\nDemikian dititahkan oleh baginda berdua selepas berkenan menerima sembah mengadap kaum kerabat DiRaja Perlis serta kenalan rapat, bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Istana Perlis Kuala Lumpur pada petang semalam.\nMengiringi baginda berdua ialah Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda, iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah, YAM Sharifah Farah Adriana dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.\nTitah baginda Raja Perlis lagi, Syawal yang mulia ini ialah hari yang tepat untuk terus mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang sudah lama terjalin antara semua, di samping dapat berkumpul beramai-ramai.\nMenerusi titah baginda, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin dan DYMM Tuanku Tengku Fauziah turut berdoa agar negeri Perlis serta rakyatnya terus diberkati dan dianugerahkan Allah SWT dengan taufik dan hidayah, aman sentosa, dikurniakan kesihatan yang baik di samping keluarga tersayang, serta hidup bersatu padu di bawah lindungan-Nya.\nBaginda\u00a0berdua\u00a0bertitah bahawa pada tahun ini baginda tidak dapat mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Istana Arau atau Istana Terbuka untuk dihadiri oleh rakyat jelata memandangkan Tuanku Raja masih bersemayam berehat di ibu negara untuk pulih daripada pembedahan buku lali dan kaki kanan baginda tempoh hari.\nUntuk rekod, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin baru sahaja menyambut ulang tahun ke-23 sebagai Raja Perlis pada 17 April 2023. Baginda dimasyhurkan sebagai Raja Perlis pada 17 April 2000 bagi menggantikan Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.\nSemoga DYMM Tuanku Raja Perlis dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis beserta seluruh usrah DiRaja negeri Perlis terus dilimpahkan kurnia panjang umur, sihat dan sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT.\nDaulat Tuanku. Dirgahayu Tuanku.\nSumber foto: Istana Arau" "Dua Yayasan Bantu 300 Keluarga Asnaf\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAlor Setar \u2013 Sebanyak 300 orang keluarga dalam kalangan kurang berkemampuan di tiga daerah, iaitu Kota Setar, Kubang Pasu dan Pokok Sena menerima sumbangan daripada Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB), sempena sambutan perayaan Aidilfitri. Sumbangan ini turut melibatkan 20 orang asnaf dan anak yatim, yakni ditaja oleh Yayasan Jariah Aafiyat.\nSumbangan wang tunai berjumlah RM250 diberi kepada setiap keluarga bersama-sama kuih merupakan produk keluaran Program Pembanggunan Wanita YSB, kerepek, produk Olive House Aafiyat dan pek makanan Great Food Industries diberikan kepada para penerima berlangsung di Hotel Star City Alor Setar, hari ini.\nPengurus Besar YSB, Misbah Dato\u2019 Abdul Hamid berkata, sumbangan itu disampaikan oleh Yang Teramat Mulia (YTM) Dato\u2019 Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu\u2019adzam Shah, Tunku Temenggong Kedah yang juga selaku Pengerusi YSB dan YTM Datin Paduka Dato\u2019 Tunku Nafisah Almarhum Sultan Badlishah selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan YSB.\nTambah beliau,\nSetiap tahun, YSB memilih daerah secara pusingan agar sumbangan dapat diberi secara adil dan saksama.\nKemampuan YSB melaksanakan sumbangan turut bergantung kepada sokongan para penyumbang yang menyalurkan dana melalui program dan aktiviti diadakan pada sepanjang tahun.\nProgram kali ini, penaja dan penyumbang yang dermawan terdiri daripada Yayasan Jariah Aafiyat, Krizik (M) Sdn. Bhd., Perniagaan Mazlan & Hashimah, Pasar raya Borong Sakan Sdn. Bhd., Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI Kedah), Yiked Tranzglobal Sdn. Bhd., Aima Development Sdn. Bhd., Perniagaan Mudim Zakaria, Federation Oil Factory Sdn. Bhd., Great Food Industries Sdn. Bhd. dan Dato\u2019 Chen Liaw Weng.\nTurut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kebajikan, YB Dato\u2019 Halimaton Shaadiah Saad dan Ahli Lembaga Amanah YSB, Dato\u2019 Nasir Mustafa, Datuk Dr. Cheng Joo An, Dato\u2019 Dr. Kamaruzaman Ali, serta Cik Suzanne Gan Soo Ean." "Hari Raya dan Makna Kebebasan Sebenar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLirik lagu yang berbunyi \u201cBerlalulah sudah Ramadan, sebulan berpuasa. Tiba Syawal kita rayakan dengan rasa gembira...\u2019 sudah tidak asing lagi bagi kita. Mungkin ungkapan ini boleh menggambarkan kegembiraan yang dapat dirasai oleh ramai umat Islam setelah sebulan berpuasa. Ketibaan hari raya disambut dengan penuh riang dan gembira. Segala persediaan untuk menyambut perayaan tersebut telah disediakan dengan persediaan yang sebaik-baiknya mengikut kemampuan masing-masing. Masing-masing berusaha untuk memastikan agar dapat memakai pakaian baharu, menyediakan juadah hari raya, melakukan persiapan rumah, selain ada yang menyediakan kenderaan baharu dan sebagainya. Semua itu, tidak lain tidak bukan ialah sebagai satu gambaran kepada kegembiraan yang amat bermakna untuk disambut setiap tahun.\nImam al-Syafi\u2019e dalam Kitab al-Umm ada menyebut bahawa beliau sangat menyukai seseorang yang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari raya, iaitu pada hari Jumaat (hari raya setiap minggu) dan dua hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) serta tempat yang diadakan suatu majlis (contohnya majlis perkahwinan). Dia digalakkan untuk memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.\nNamun demikian, bagi segelintir umat Islam, kegembiraan yang dirasakan itu berbeza daripada maksud bahawa bukan semata-mata gembira untuk menyambut perayaan sahaja. Bukan pula kerana dengan hari raya, banyak juadah disediakan, anak dan cucu pulang ke kampung halaman dan berkumpul beramai-ramai, atau kerana rumah telah dicat semula dan mendapat kenderaan baharu. Akan tetapi, dengan melihat kepada sesuatu yang lebih jauh bermakna iaitu \u201ckebebasan daripada segala dosa\u201d atau dalam erti kata lain merayakan jiwa yang telah dibersihkan setelah menghadapi proses penyucian diri dan pengharapan kepada Allah SWT sepanjang bulan Ramadan. Sehingga ada yang menitiskan air mata kegembiraan apabila diberikan kesempatan sehingga penghujung bulan bagi mengharungi proses penyucian tersebut dengan baik. Tidak dinafikan ada yang menanggung rasa sedih kerana terpaksa meninggalkan bulan tersebut dan tidak lagi dapat menikmati keberkatan bulan tersebut.\nMelihat pada situasi yang dijelaskan itu, ada dua keadaan manusia ketika menyambut hari raya. Ada yang melihatnya sebagai satu \u201ckebebasan\u201d yang tidak lagi terikat dengan pantang larang, tiada lagi halangan untuk makan dan minum, atau melakukan apa-apa sahaja kerana tidak ada lagi perkara yang membatasinya. Jadi, hari raya adalah satu \u201ckegembiraan\u201d kepadanya kerana telah melepasi fasa tersebut. Seolah-olah sebulan berada dalam bulan Ramadan disifatkan sebagai satu situasi yang menghalang dan mengikat diri daripada banyak perkara walaupun pada hakikatnya, banyak perkara yang boleh dilakukan. Bahkan, saranan untuk menghidupkan bulan puasa dengan pelbagai ibadah tidak membekas kepada diri. Pada pandangannya, Ramadan dianggap sebagai suatu kesukaran, sekalipun nikmat makan dan minum semasa berbuka dan bersahur melimpah ruah. Situasi golongan ini ada kaitan dengan perkara yang difahami dalam hadis Nabi SAW.\nMaksudnya: Ketika Nabi SAW menaiki mimbar, Baginda SAW bersabda: \u201cAmin, Amin , Amin (sebanyak tiga kali)\u201d. Baginda SAW ditanya: \u201cWahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata, amin, amin, amin\u201d. Maka Rasulullah SAW bersabda: \u201cSesungguhnya Jibrail AS telah datang kepadaku, lalu dia (Jibrail) berkata: Sesiapa yang bertemu dengan bulan Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosa bagi dirinya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): \u2018Amin\u2019. Maka aku katakan: Amin\u201d.\u00a0 [Ibn Hibban, no.hadith 907 dan al-Bukhari, al-Adab al-Mufrad, no. hadis 644]\nGolongan ini tidak mendapat sebarang faedah daripada tarbiah Ramadan yang diharunginya itu melainkan sama ada hanya melihat Ramadhan sebagai adat dan budaya dalam agama atau hanya sebagai amalan biasa sahaja. Sedangkan jika kita perhatian dalam hadis yang lain, Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: \u201cSesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan, diampuni dosa-dosanya yang lalu.\u201d (al-Bukhari, no.hadith 37).\u00a0 Hadis ini jelas menunjukkan bahawa sepatutnya seseorang yang diberikan kesempatan untuk berada dalam bulan Ramadan, telah dibuka peluang seluas-luasnya untuk dia mendapatkan keampunan Allah SWT dan menyucikan dirinya daripada segala dosa. Bahkan turut diangkat kepada darjat orang yang bertakwa seperti dijelaskan dalam ayat 183, Allah SWT berfirman yang bermaksud: \u201cWahai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.\u201d\nGolongan yang sebegini, sekalipun mereka gembira pada hari raya, kegembiraan tersebut bukan merupakan satu kebebasan sebenar diri mereka. Namun begitu, hanya kebebasan untuk meraikan kembalinya kepada keadaan biasa yang membolehkan mereka makan dan minum, boleh melakukan apa-apa sahaja yang disukai tanpa halangan, atau melakukan sesuatu yang sebelum ini terhalang dek bulan puasa. Kita memohon perlindungan daripada Allah SWT daripada digolongkan sebagai golongan yang sebegini kerana termasuk dalam kalangan golongan yang sangat rugi kerana amat rugi di dunia dan juga di akhirat kelak.\nJusteru, golongan yang kedua pula melihat ketibaan hari raya juga sebagai satu kegembiraan. Namun demikian, yang membezakannya ialah mereka menikmati kegembiraan tersebut kerana telah berjaya mengharungi Ramadan, melaksanakan perkara yang dituntut semasa bulan Ramadan, telah dapat melipat gandakan ibadah pada bulan Ramadan, dan memanfaatkan peluang bulan Ramadhan tersebun dengan sepenuhnya. Oleh itu, golongan ini secara tidak langsung telah berusaha untuk merealisasikan matlamat ibadah berpuasa pada bulan Ramadan itu sendiri, iaitu mencapai nilai ketakwaan di sisi Allah SWT. Pada masa yang sama, mereka turut diberikan keampunan dari segala dosa seperti yang dijanjikan oleh Nabi SAW dan turut meraih keberkatan dan rahmat oleh Allah SWT. Kita memohon doa kepada Allah SWT agar tergolong dalam golongan yang kedua ini. Oleh itu, apabila datangnya hari raya, kegembiraan itu betul-betul dijiwai secara mendalam, di samping turut menitiskan air mata kerana tibanya hari raya bermakna berakhirnya peluang berada dalam bulan Ramadan itu. Tiada lagi \u201cpesta ibadah\u201d, tiada lagi peluang untuk melipat gandakan pahala sebanyak mungkin, tiada lagi ruang untuk berselawat dan bersolat terawih serta tiada lagi pelbagai amalan yang dikhususkan untuk Ramadan. Golongan ini merasai kehilangan Ramadan sehingga senantiasa meminta agar diberikan lagi kesempatan untuk berada pada bulan Ramadhan tahun hadapan.\nDalam hadis Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda, yang bermaksud: \u201cSolat lima waktu, dari hari Jumaat ke Jumaat (berikutnya) dan Ramadan ke Ramadan (berikutnya) akan menghapuskan (dosa-dosa) di antara tempoh tersebut apabila menjauhi dosa-dosa besar.\u201d (Muslim, no. hadis 233 dan al-Tirmidhi, no. hadis 214). Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa jika seseorang itu mempunyai dosa-dosa kecil, maka puasa (atau amalan soleh yang disebutkan itu) akan menghapuskannya. Sekiranya dia tidak mempunyai dosa kecil mahupun dosa besar, maka akan ditulis baginya kebaikan dan diangkat kedudukannya (darjatnya). Oleh itu, kedatangan dan keberadaan dalam bulan Ramadan merupakan suatu tempoh yang sangat penting bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dan rasul-Nya.\nOleh hal yang demikian, \u201ckebebasan\u201d bagi golongan kedua ini lebih kepada satu kebebasan yang hakiki kerana lebih mengutamakan akhirat berbanding dengan apa yang sedang dinikmati di dunia. Golongan ini menggunakan sepenuhnya peluang dan ruang tersebut agar tercapai matlamat direzekikan berada dalam bulan Ramadan tersebut. perkara yang disebutkan ini adalah seperti apa-apa yang kita fahami daripada amalan golongan terawal daripada kalangan para Sahabat Nabi SAW dan ulama salaf terdahulu. Kedatangan bulan Ramadhan adalah sesuatu masa yang sangat ditunggu-tunggu. Berlalunya Ramadan pula bererti satu kesedihan dan mereka sangat mengharapkan agar diberikan lagi peluang pada tahun berikutnya.\nMarilah kita merenung diri masing-masing. Adakah kita telah berjaya membebaskan diri dari belenggu dosa sebelum Ramadhan? Adakah penghujung Ramadhan, diri kita telah berjaya ditarbiahkan sepenuhnya dan berjayakah kita menempatkan diri kita dalam kalangan orang yang bertakwa di sisi Allah SWT? Itulah matlamat yang sewajarnya kita capai apabila berakhirnya Ramadan.\nDengan kedatangan Syawal ini, semoga hari raya ini dapat menjadi kemuncak kepada kejayaan kita mengharungi pentarbiahan Ramadan tersebut. Tidak salah untuk meraikan kegembiraan kerana kejayaan pada hari raya. Namun begitu, ingatlah bahawa kegembiraan dan kebebasan yang dikecapkan semasa hari raya bukan semata-mata kegembiraan dan kebebasan fizikal sahaja. Hal ini demikian kerana terdapat hubung kait dengan kejayaan yang diraih semasa Ramadan dan kejayaan dalam menempatkan diri dalam kalangan orang yang bertakwa di sisi Allah SWT. Sambutlah hari raya dengan penuhi rasa syukur dengan nikmat terbesar tersebut. Penuhilah juga dengan amalan lain yang disarankan oleh Nabi Muhammad SAW sekalipun telah berlalu Ramadan sebagai salah satu manifestasi syukur tersebut. Antaranya, termasuklah dengan menghidupkan malam hari raya dengan memperbanyakkan doa kepada Allah SWT, memberi makanan dan minum kepada anak-anak yatim, ziarah menziarahi antara jiran tetangga, menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan sebagainya. Realisasikan hari raya tersebut sebagai satu daripada tanda kemenangan kita. Salam Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.\nProf. Madya Dr. Khadher Ahmad, Jabatan Al-Quran dan Hadis, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur." "Rumah Terbuka Malaysia Madani Bakal Membuka Tirai pada 29 April\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Buat julung-julung kalinya penganjuran sambutan Rumah Terbuka Malaysia Madani sempena Hari Raya Aidilfitri bakal diadakan di enam buah negeri yang telah ditetapkan, yakni melibatkan negeri Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Selangor. Hal ini turut dijelaskan secara terperinci oleh W. Husbi W. Mohd yang juga merupakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri menerusi temu bual rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran RTM, pagi ini.\nBeliau membuka lembaran bicaranya dengan menyatakan bahawa penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani, bersama YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan penganjuran yang julung-julung kalinya diadakan, yakni bakal diadakan di luar Putrajaya melibatkan enam buah lokasi utama yang telah dikenal pasti. Penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani akan membuka tirainya pada 29 April 2023, dan akan diadakan di Hotel Raia, Alor Setar, Kedah dari pukul 10.00 pagi hingga 2.00 petang.\nProgram berkenaan juga dikatakan telah diangkat menjadi program nasional dengan harapan penganjuran di luar Putrajaya kali ini dapat memberikan peluang kepada rakyat Malaysia, khususnya di negeri Kedah, untuk bersama-sama YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara langsung dalam meraikan sambutan Aidilfitri. Dalam masa yang sama, YAB Perdana Menteri juga dapat menyantuni rakyat Malaysia secara keseluruhannya.\nSementara itu, beliau juga turut menyatakan bahawa sasaran pengunjung yang dijangkakan hadir ke lokasi pertama sambutan Rumah Terbuka Malaysia Madani di negeri Kedah ialah seramai 25,000 orang pengunjung. Ujar beliau lagi:\nYAB Perdana Menteri akan menyantuni rakyat jelata yang hadir ke program ini. Dalam majlis ini juga kita mengharapkan supaya rakyat dapat memahami sepenuhnya konsep Malaysia Madani yang dilaksanakan oleh kerajaan pada masa kini.\nSelain itu, beliau turut menjelaskan bahawa pihak penganjur juga telah menyediakan pengangkutan bagi memudahkan orang ramai untuk hadir ke lokasi yang ditetapkan. Bas perantara akan disediakan di empat buah lokasi yang telah dikenal pasti, iaitu di Stadium Sultan Abdul Halim, Stadium Darul Aman, tapak pasar malam Taman Mahsuri Alor Setar, dan di tapak parkir Kolej Tentera Udara Kepala Batas. Tambah beliau lagi:\nBas-bas ini akan disediakan untuk membawa pengunjung-pengunjung yang akan hadir ke Hotel Raia. Begitulah juga sewaktu hendak pulang semula ke lokasi di mana kenderaan mereka diletakkan.\n\u201cKita mendapat kerjasama daripada Kerajaan Negeri bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan, termasuk agensi dan jabatan di bawahnya. Kita telah pun menyelaraskan perkara-perkara yang sepatutnya dalam memastikan persiapan untuk program ini berjalan dengan lancar.\nPada akhir temu bual, beliau mewakili pihak kementerian (Kementerian Dalam Negeri) yang menjadi peneraju bagi program ini sempat menyatakan harapan agar seluruh rakyat Malaysia dapat hadir beramai-ramai bagi memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri kali ini tanpa mengira kaum, agama, atau bangsa." "Menyingkap Cabaran Daya Saing Pelaburan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKejatuhan Empayar Rom merupakan peristiwa besar terhadap perkembangan tamadun manusia. Pada zaman pertengahan Revolusi Perancis, iaitu pada tahun 1789 peristiwa ini dianggap sebagai peristiwa bertanda. Walau bagaimanapun kesan peristiwa ini hanya dirasai di sekitar Eropah sahaja, berbeza dengan penyatuan semula Jerman Barat dan Jerman Timur yang menyaksikan kesan ekonomi meluas di seluruh dunia. Serangan ke atas World Trade Center (WTC) Amerika Syarikat pada 11 September 2001 menunjukkan contoh moden yang menjatuhkan semua pasaran saham dunia dalam tempoh kurang daripada 12 jam. Terdapat peristiwa yang dirasai berdasarkan lingkaran geografi tertentu, antaranya di beberapa buah negara, di beberapa kawasan serantau atau di beberapa buah benua.\nTerdapat juga peristiwa yang dikongsi dengan hampir seluruh dunia atau seantero manusia. Pandemik COVID-19 merupakan satu daripada contoh peristiwa yang paling hampir dengan kita. Banyak penduduk di dunia ini yang menerima kesan akibat pandemik COVID-19. Sehingga kini, suasana masih lagi hening. Kebanyakan manusia masih belum bangkit daripada pandemik COVID-19. Kesan kejatuhan ekonomi, kesihatan dan masalah kemurungan masih lagi dirasai oleh sesetengah individu. Walau bagaimanapun, rakyat perlu sentiasa diingatkan agar tidak meletakkan pergantungan titik terakhir kehidupan pada kuasa teknologi dan sains semata-mata, sebaliknya carilah jalan ikhtiar dan pergantungan mutlak kepada Allah SWT. Janganlah sesekali kita alpa atau leka akan kesan dan impak pandemik COVID-19 yang pernah melanda seluruh dunia.\nJabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan Kadar Inflasi Malaysia pada Februari 2023 kekal pada 3.7%, Kadar ini sama seperti yang dicatatkan pada Januari 2023. Kementerian Ekonomi mengunjurkan inflasi tahun 2023 berkemungkinan menurun kepada 3.1%. Bagi sesebuah negara, keredaan tekanan dan kestabilan inflasi adalah sesuatu yang penting untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan. Berdasarkan 552 harga yang dipantau oleh DOSM, hanya 66 sahaja yang mencatat penurunan harga. Sebahagian besar mencatakan peningkatan harga, iaitu sebanyak 452 harga. Berdasarkan 12 komposisi harga Indeks Harga Pengguna (IHP), semua mencatatkan peningkatan, kecuali dalam bidang telekomunikasi.\nPemberat paling utama dalam IHP ialah makanan, iaitu sebanyak 29.5%. Dalam bulan Februari, kadar kenaikan harga makanan dan minuman bukan beralkohol meningkat lebih tinggi dari bulan sebelumnya, iaitu sebanyak 7% (Januari: 6.7%). Komponen restoran dan hotel meningkat dengan ketara kepada 7.4% (Januari: 6.8%). Lebih khusus, kadar kenaikan harga makanan di luar kekal tinggi, iaitu sebanyak 8.9%. Bagi menangani kos sara hidup, kerajaan memerlukan tindakan yang lebih tuntas. Sebaik-baiknya penetapan harga mestilah adil kepada penjual dan pembeli. Tindakan penurunan harga mestilah bersandarkan kepada inisiatif titik awal rantaian bekalan, bukan kepada titik akhir rantaian jualan kepada pengguna.\nMalaysia harus bersedia. \u201cMurah\u201d bukanlah ciri sebuah negara yang maju dan berpendapatan tinggi. Gaya dan budaya hidup mestilah diubah sekiranya negara mensasarkan status negara yang maju dan berpendapatan tinggi. Kuasa beli yang tinggi mestilah menjadi sasaran utama. Umumnya, harga akan sentiasa meningkat. Tindakan yang lebih berkesan dan mampan ialah meningkatkan tahap pendapatan, bukan menjadikan harga barangan dan perkhidmatan murah. Hal ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).\nNamun begitu, terdapat beberapa inisiatif lain bagi meningkatkan KDNK, iaitu menerusi Pelaburan Langsung Asing (FDI). Persaingan dapat menarik pelabur asing dan menjadikan pelaburan semakin sengit. Lanskap persaingan global telah berubah dengan nyata. Struktur geopolitik kuasa besar ekonomi US-China telah memberikan kesan kepada seluruh dunia, termasuklah Malaysia. Dari USD175 bilion pelaburan asing yang masuk ke rantau Asia Tenggara dalam tahun 2021, sekitar 7% mendarat di Malaysia. Negara jiran, Singapura pula mengaut 57%. Indonesia, Vietnam, Thailand dan Filipina pula kini semakin mantap.\nDaya saing negara jelas semakin luntur. Dahulunya pada tahun 1980, 35% milik Malaysia, kini hanya sekitar 7%-8% sahaja. Berdasarkan penarafan daya saing global yang dikeluarkan oleh Institute for Management Development (IMD), dari tangga ke-10 terbaik di dunia pada tahun 2010, dalam tempoh 13 tahun, Malaysia telah menurun ke tangga ke-32 tahun 2022. Aspirasi Pelaburan Negara (NIA-National Investment Aspirations) meletakkan lima teras atau ciri utama yang harus dinilai, iaitu berdasarkan kepada kecanggihan teknologi pelaburan, kualiti pekerjaan yang dicipta, limpahan peluang kepada Industri Kecil Sederhana (IKS) domestik, impak kepada industri strategik negara dan juga implikasi kepada mengecilkan jurang pembangunan wilayah.\nDengan lima teras tersebut, Malaysia perlu lebih strategik dalam menarik pelaburan. Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) perlu berkongsi kemajuan yang telah dicapai oleh negara dalam setiap lima teras NIA ini. Mungkin Jabatan Perangkaan Malaysia sudah boleh mula melaporkan data untuk setiap lima teras ini. Perkara ini tidak cukup dengan hanya memberikan tradisi laporan \u201cApproved Investment\u201d atau pelaburan yang diluluskan. Dengan kejelasan data, kita semua dapat menilai dengan ukuran yang sama. Tiga perkara pokok yang menjadi cabaran utama iailah, kualiti pelaburan yang berjaya dibawa masuk, kesediaan dan kecukupan bakat/sumber manusia yang ada, dan kepantasan dan keselarasan keputusan dan peraturan oleh kerajaan persekutuan, negeri, dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). In short, Ease of Doing Business, masih membelenggu negara.\nJangan sesekali menyalahkan mana-mana pihak. Aliran kejatuhan ini bukanlah sesuatu yang baharu. Negara perlu bergerak ke hadapan, lebih masa melihat ke hadapan bukan ke belakang. Jadikan ini sebagai cabaran untuk ditangani bersama. Perkara ini bukanlah tanggungjawab satu pihak sahaja, banyak kementerian yang perlu terlibat dalam menyegerakan pembaharuan tersebut. Malaysia mesti bergerak bersama-sama. Koordinasi antara semua pihak yang terlibat amat penting. Umumkan pembaharuan dan langkah strategik yang akan diambil oleh Malaysia. Pelabur pasti akan menanitkan tawaran tersebut.\nWalau bagaimanapun, sekalung tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri kerana berjaya menarik pelaburan berjumlah RM170 bilion dari China. Sebanyak 19 memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani. Hal ini menunjukkan keyakinan pelabur ke atas Malaysia. Sebuah jawatankuasa khas pemantauan dibentuk bagi memastikan hasrat pelaburan ini direalisasikan. Jumlah pelaburan asing sememangnya meningkat dari RM7.1 billion (1990), kepada RM14.4 (2000) dan RM32.4 billion (2019). Namun begitu, daya saing Malaysia untuk menarik pelaburan asing semakin luntur.\nDalam kalangan negara Association of Southeast Asian Nations\u00a0(ASEAN), Singapura kekal sebagai juara, iaitu berjaya menarik lebih daripada separuh FDI yang masuk ke Asia Tenggara, iaitu 43% (1990), 68% (2000) dan 60% 2019. Kedudukan Malaysia jatuh mendadak, dari 20% (1990) kepada 17% (2000), dan 4% (2019). Negara-negara jiran seperti Vietnam, Indonesia, Thailand dan Filipina pula kini semakin menonjol. Malaysia perlu segera bangun, mengambil tindakan yang agresif dan komited untuk mengukuhkan semula daya saing negara sebagai hub pilihan pelaburan global.\nDalam konteks daya saing global yang lebih luas, kedudukan Malaysia telah menurun. Berdasarkan penarafan oleh IMD (Global Competitiveness Index), pencapaian terbaik Malaysia ialah pada kedudukan ke-10 di dunia pada tahun 2010. Pada tahun 2019, Malaysia merudum ke tangga ke-22. Berdasarkan aliran ini, jelas menunjukkan bahawa daya saing Malaysia semakin meluntur. Perubahan yang signifikan perlu dilakukan untuk meyakinkan pelabur bagi menunjukkan keseriusan Malaysia dalam melaksanakan pembaharuan. Persaingan global semakin sengit selepas pasca-pandemik COVID-19 dan corak geo-politik global nyata juga telah berubah, Malaysia mesti menyusun strategi baharu dengan segera.\nPerkukuh dan tonjolkan kekuatan negara. Aspirasi Pelaburan Nasional atau National Investment Aspiration (NIA) bukan di bawah tanggungjawab MITI dan agensinya MIDA sahaja. Kerancakan pelaburan hakikatnya bergantung pada semua kementerian. Kesepakatan dan kesepaduan antara semua kementerian dan agensi serta pembuatan keputusan di peringkat persekutuan, negeri, dan PBT perlu dipertingkat. Semoga Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Malaysia akan lebih agresif meningkatkan daya saing bagi menarik pelaburan asing." "Program Lima Minit Antirokok Cegah Tabiat Merokok dalam Kalangan Murid\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan Program Lima Minit Antirokok bagi mencegah dan membendung penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan murid.\nMenurut KPM, program ini bertujuan untuk menerapkan nilai kesedaran terhadap murid, selain membentuk jati diri dan memperkukuhkan daya tahan yang tinggi.\nProgram ini akan dilaksanakan dalam perhimpunan, kelas ganti, bimbingan kelompok, kempen antimerokok, ceramah, pameran serta melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum di sekolah.\nSusulan daripada itu, KPM memberikan peringatan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah berkaitan dengan Surat Siaran KPM Bil 17/2015: Larangan Penggunaan Rokok Elektronik atau Vape di Sekolah.\nMelalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.8/2001: Pemantapan Pengurusan Disiplin di Sekolah, pengetua dan guru besar disarankan mengambil langkah-langkah yang berkesan untuk memantapkan pengurusan disiplin dan kaunseling di sekolah.\nKPM dalam kenyataan media pada petang ini berkata, program berkenaan dilaksanakan bersama-sama JPN, PPD dan sekolah dengan kerjasama agensi awam, seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).\nTambah KPM, inisiatif pencegahan amalan merokok ini turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha melaksanakan program IMFree.\nProgram IMFree diperkenalkan kepada murid sekolah rendah tahun satu hingga tahun enam di 636 buah sekolah rintis dan diperluaskan pada tahun 2023.\u201d\n\u201cProgram IMFree merupakan program pendidikan dan pencegahan amalan merokok dalam kalangan murid sekolah rendah.\nMengulas lanjut, KPM memaklumkan bahawa objektifnya adalah untuk memberi pengetahuan tentang bahaya merokok; memberi kemahiran untuk menyampaikan maklumat tentang bahaya merokok; dan melatih murid menjadi agen/pencetus/penyampai maklumat perubahan kepada rakan dan keluarga terhadap bahaya merokok.\nPada sama yang sama, KPM menegaskan pihaknya sentiasa komited dalam melaksanakan program pendidikan pencegahan berkaitan dengan isu disiplin.\n\u201cHal ini merupakan satu daripada usaha berterusan untuk memberikan kesedaran, kemahiran, pengetahuan serta bimbingan kepada murid,\u201d ulas KPM dalam laporan media mengenai penggunaan rokok elektronik dalam kalangan kanak-kanak dan murid sekolah." "Unsur Negatif dalam Karya Kreatif: Salah Siapa?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMutakhir ini, dunia penulisan mengalami ledakan novel Melayu pelbagai genre dan tema yang diterbitkan oleh penerbit tradisional dan penerbit bebas (indie). Malah, kemunculan penerbit swaterbit juga semakin rancak ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan. Yang menariknya, karya-karya cinta kembali mendapat perhatian dalam kalangan pembaca novel, setelah novel seram dan suspens mendominasi carta buat suatu ketika. Karya-karya tersebut diterbitkan satu demi satu, bukan sahaja dalam versi cetak, tetapi juga dalam versi e-buku. Selain itu, terdapat segelintir penulis yang memilih untuk menyiarkan karya mereka menerusi platform seperti Facebook dan Wattpad.\nKarya yang mendapat tempat di hati pembaca diangkat martabatnya dan dipromosikan secara besar-besaran oleh rumah penerbitan, dan mungkin memperoleh peluang untuk diadaptasi dalam bentuk telefilem dan drama televisyen, seterusnya terpilih untuk memenangi anugerah penulisan.\nMalangnya, dalam penghasilan karya, segelintir penulis tegar memasukkan unsur-unsur yang tidak patut wujud dalam novel Melayu, iaitu dianggap sebagai melampaui batas dan kurang sesuai dibaca oleh masyarakat umum, khususnya para remaja yang suka membaca novel berunsurkan cinta. Persoalannya , apakah perlu unsur-unsur sedemikian sebagai \u201cpelaris\u201d karya?\nJawapannya ialah tidak. Harus diingatkan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum, bangsa, agama dan agama rasmi Malaysia ialah agama Islam. Oleh sebab Malaysia mengamalkan budaya ketimuran, maka tidak manis jika karya-karya terbitan Malaysia dipenuhi dengan unsur yang tidak sesuai seperti unsur seksual. Harus diingatkan juga bahawa Malaysia tidak menggalakkan budaya pergaulan bebas, berbanding dengan masyarakat di negara Barat yang lebih bersikap terbuka.\nMenurut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, sebarang bahan bercetak tidak boleh mengandungi sebarang unsur yang boleh memudaratkan ketenteraman awam, mengancam keselamatan negara dan menggugat kesejahteraan rakyat. Merujuk pada akta tersebut, Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Kawalan Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Zaitun Abdul Samad pernah mengeluarkan kenyataan dalam sebuah dialog pada tahun 2010:\nSecara umumnya, kebanyakan penerbit cuba sedaya upaya untuk mematuhi garis panduan KDN. Tidak dinafikan bahawa penerbitan dilihat begitu kerap melanggar garis panduan, tetapi tidak baik jika saya mendedahkan nama penerbitan yang dimaksudkan.\u00a0 Tindakan yang dilakukan adalah berurutan, iaitu membuat panggilan kepada syarikat penerbitan berkenaan, menegur, memberi amaran, amaran dan akhirnya surat tunjuk punca.\nWalaupun terdapat akta yang membataskan pengkaryaan yang menyentuh sensitiviti masyarakat, karya-karya tersebut masih berjaya membolosi pasaran. Siapakah yang sebenarnya bersalah dalam hal ini? Adakah pengarang, penerbit atau pembaca? Natijahnya, semua pihak yang terlibat perlu bertanggungjawab atas penerbitan karya tersebut. Jika tidak ada permintaan, maka penulis dan penerbit tidak akan menghasilkan karya sedemikian. Maka, untuk siapakah karya-karya itu ditulis?\nKembali pada persoalan tadi, adakah perlu kewujudan unsur seksual dalam novel Melayu? Perlukah penulis menceritakan dengan begitu terperinci mengenai perbuatan seks oleh watak-watak dalam karyanya bagi menggerakkan plot? Jawapannya terletak pada penggunaan teknik penulisan yang betul. Dalam soal unsur seksual, penulis boleh menggunakan teknik \u201cTell, Don\u2019t Show\u201d, iaitu teknik penceritaan yang memberikan gambaran kasar mengenai aksi yang ingin ditonjolkan dalam karya, yakni tidak memberi deskripsi yang terperinci. Sebaliknya, segelintir penulis lebih gemar menggunakan teknik \u201cShow, Don\u2019t Tell\u201d iaitu teknik yang menceritakan suatu situasi secara terperinci.\nAlasan yang diberikan oleh mereka ialah adegan sebegitu lebih elok diceritakan secara terperinci. Pernyataan tersebut merupakan jawapan yang diberikan oleh seorang penulis yang mempertahankan novelnya ketika ada pihak yang membuat laporan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengharamkan karyanya kerana mengandungi unsur seks yang melampaui batas.\nAdakah masyarakat terlupa tentang novel trilogi Fifty Shades of Grey nukilan E. L. James, yang telah diharamkan daripada dijual di kedai buku di Malaysia pada sekitar tahun 2015 dahulu kerana mengandungi adegan seks yang tidak wajar dan \u201csadis\u201c, seperti adegan seorang wanita yang terikat dan disebat (melibatkan amalan perhambaan dan tatatertib, dominasi dan penyerahan, serta sadisme dan masokisme) (BDSM)?\u00a0 Jika karya terbitan Barat berjaya diharamkan, mengapakah pula karya terbitan tempatan yang mengandungi unsur seksual dibenarkan penerbitannya? Mengapakah para penerbit dan penulis yang terbabit tidak diberi amaran keras?\nTanpa tindakan daripada pihak berkuasa dalam soal menguatkuasakan undang-undang, maka tidak hairanlah wujudnya penulis yang kian berani menghasilkan karya yang mengandungi unsur seks secara bebas tanpa sekatan.\nDalam hal ini, bukan sahaja penulis dan pihak penguat kuasa semata-mata yang patut dipersalahkan dalam soal ini, malah para penerbit dan pembaca juga seharusnya bertanggungjawab. Penerbit juga patut berasa bersalah kerana culas dalam kerja mereka. Tidak ada istilah terlepas pandang dalam penerbitan novel. Sebelum sebuah novel diterbitkan, manuskrip daripada penulis perlu disemak oleh editor bagi memastikan sama ada karya tersebut sesuai untuk diterbitkan atau tidak. Sekiranya editor terlepas pandang, karya tersebut turut disemak oleh pembaca pruf. Mustahil jika tiada seorang pun yang menyedari terdapat unsur seks dalam karya tersebut, atau mereka sedar, tetapi bagi mereka karya tersebut adalah \u201cnormal\u201d. Maka penerbitan tersebut diluluskan? Tepuk dada, tanya selera.\nBagi pembaca pula, mereka bersalah kerana memberikan sokongan kepada karya-karya sebegini. Ya, membeli dan membaca novel ialah amalan mulia. Namun begitu, para pembaca harus menyokong karya-karya yang berkualiti dan bebas daripada unsur yang mampu merosakkan akidah masyarakat. Sokongan pembaca bukan sahaja akan memberikan semangat kepada para penulis untuk terus menghasilkan karya yang mengandungi unsur yang sebenarnya tidak perlu, serta menjadi sumber kekuatan kepada penerbit. Oleh itu, tidak hairanlah jika terdapat segelintir penerbit yang menggunakan istilah \u201cUntuk Pembaca Matang\u201d bagi memasarkan karya mereka.\nSejujurnya, para penulis dan penerbit harus sedar akan tanggungjawab mereka terhadap masyarakat. Mereka juga harus mengetahui bahawa karya-karya yang dihasilkan berfungsi sebagai alat bagi mendidik masyarakat untuk berfikir. Sesebuah karya tidak seharusnya mempengaruhi masyarakat untuk melakukan sesuatu yang melampaui batasan norma kehidupan.\nKesimpulannya, artikel ini diharapkan dapat memberikan sedikit pencerahan mengenai situasi yang sedang menular dalam dunia penerbitan, tanpa berniat untuk menghina atau menyakiti hati mana-mana pihak." "Pemerkasaan Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Persendirian Cina\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar rasmi, bahasa Melayu sudah banyak mengambil alih peranan yang dahulunya dimainkan oleh bahasa Inggeris. Antaranya termasuklah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Sehubungan dengan itu, bahasa Melayu perlu berada di tempat yang sewajarnya dalam segala hal.\nDi sekolah, para pelajar harus membiasakan diri dengan menggunakan bahasa Melayu yang betul, terutama ketika sesi pengajaran dan pembelajaran. Cara ini dapat menanamkan semangat cinta akan bahasa Melayu. Yang paling penting, guru sangat berperanan dalam hal pemantapan bahasa di sekolah kerana mereka sering dianggap sebagai contoh terbaik bagi pelajar.\nSehubungan dengan itu, para guru Bahasa Melayu harus peka akan penggunaan bahasa Melayu standard di sekolah. Seboleh-bolehnya elakkan penggunaan bahasa dialek, bahasa campuran atau bahasa pasar ketika berkomunikasi dengan pelajar. Pelajar tidak mungkin dapat menghayati dan mencintai bahasa Melayu tanpa kesungguhan daripada guru.\nOleh itu, demi menjaga mutu dan kecekapan berbahasa dalam kalangan guru di sekolah, mereka harus diberi kursus penataran seperti Kursus Kemahiran Bahasa atau menyampaikan maklumat berkala kepada guru dari semasa ke semasa. Semoga cara ini dapat meningkatkan taraf penguasaan dan mutu bahasa Melayu dalam sektor pendidikan khususnya di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).\n\nSehubungan dengan itu, pada 8 Jun 2021 dan 9 Jun 2021, berlangsungnya Program Bimbingan Penulisan Bahasa untuk Guru-guru Bahasa Melayu Sekolah Menengah Persendirian Cina. Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), melalui Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran dengan kerjasama Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) ini diadakan untuk memberikan bimbingan bahasa kepada para guru Bahasa Melayu SMPC, selain melahirkan lebih banyak guru bukan Melayu yang pakar dalam bidang bahasa.\nProgram ini disertai oleh 220 orang peserta di seluruh Malaysia. Alex Leong Jun Wei yang bertindak sebagai penceramah bagi program ini merupakan Pegawai SISC+Bahasa dan merupakan Munsyi DBP. Semoga program sebegini dapat membantu DBP melahirkan masyarakat yang megah dan cinta akan bahasa kebangsaan." "Antara Lewah dengan Tidak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada umumnya, unsur lewah atau redundancy\u00a0ialah unsur berlebihan yang tidak memberikan makna atau fungsi tambahan pada sesuatu komponen ayat. Satu contoh penggunaan kata yang lewah ialah penggunaan sendi nama yang berlebihan. \u00a0Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n1a. \u00a0*Dia belajar hingga ke jauh malam.\n1b. \u00a0*Dia belajar sampai ke jauh malam.\n1c. \u00a0Dia belajar hingga jauh malam.\n1d. \u00a0Dia belajar sampai jauh malam.\n2a. \u00a0*Semenjak dari waktu itu, dia kurang cergas lagi.\n2b. \u00a0*Sejak dari waktu itu, dia kurang cergas lagi.\n2c. \u00a0Semenjak waktu itu, dia kurang cergas lagi.\n2d. \u00a0Sejak waktu itu, dia kurang cergas lagi.\n2e. \u00a0Dari waktu itu, dia kurang cergas lagi.\n\u00a0\nDalam kelompok ayat 1, kata sendi nama hingga\u00a0dan sampai\u00a0dapat dikaitkan terus dengan frasa nama jauh malam\u00a0tanpa perantaraan kata sendi nama ke. \u00a0Dalam kelompok ayat 2, sendi nama semenjak, sejak\u00a0dan dari\u00a0masing-masing dapat dikaitkan terus dengan frasa nama waktu itu\u00a0tanpa perantaraan sendi nama lain.\nAda kalanya keadaan lewah wujud apabila sesuatu kata yang sudah mengandungi maksud tertentu ditambah dengan kata yang membawa erti yang sama. Sila lihat contoh yang berikut:\n3a. \u00a0*Dia pergi bersama dengan keluarganya.\n3b. \u00a0*Dia pergi bersama-sama dengan keluarganya.\n3c. \u00a0Dia pergi bersama keluarganya.\n3d. \u00a0Dia pergi bersama-sama keluarganya.\n3e. \u00a0Dia pergi dengan keluarganya.\n\u00a0\n4a. \u00a0*Udara yang panas akan naik ke atas.\n4b. \u00a0Udara yang panas akan naik.\n4c. \u00a0Udara yang panas akan bergerak ke atas.\n\u00a0\n5a. \u00a0*Mereka saling bantu-membantu.\n5b. \u00a0Mereka saling membantu.\n5c. \u00a0Mereka bantu-membantu.\n\u00a0\n6a. \u00a0*Mereka saling berpeluk.\n6b. \u00a0*Mereka saling berpelukan.\n6c. \u00a0*Mereka saling berpeluk-pelukan.\n6d. \u00a0Mereka saling memeluk.\n6e. \u00a0Mereka berpeluk.\n6f. \u00a0\u00a0Mereka berpelukan.\n6g. \u00a0Mereka berpeluk-pelukan.\n\u00a0\nDalam kelompok ayat 3, kata bersama\u00a0atau bersama-sama\u00a0bererti \u201cbergandingan dengan\u201d atau \u201cserentak dengan\u201d. Oleh itu, penambahan kata dengan\u00a0selepas kata tersebut dianggap lewah. Bagi kelompok ayat 4, kata naik\u00a0bererti \u201cbergerak ke atas\u201d. Oleh itu, penggunaan kata kerja tak transitif naik\u00a0dengan frasa sendi nama ke atas\u00a0dianggap lewah. Dalam kelompok ayat 5, kata kerja ganda separa bantu-membantu\u00a0sudah mendukung maksud bersalingan.\u00a0Oleh itu, penambahan kata saling\u00a0akan menjadikan maksud ayat lewah. Dalam kelompok ayat 6, kata berpeluk, berpelukan\u00a0dan berpeluk-pelukan\u00a0sememangnya melibatkan perbuatan antara dua pihak atau lebih. Oleh itu, penambahan kata saling\u00a0tidak seharusnya berlaku.\nJika sesuatu kata sudah mendukung maksud jamak, penggunaan kata yang juga mengandungi erti jamak akan menimbulkan kelewahan. Sila lihat contoh yang berikut:\n7a. \u00a0*Burung-burung berterbangan.\n7b. \u00a0Burung-burung terbang.\n7c. \u00a0Burung berterbangan.\n\u00a0\n8a. \u00a0*Dia menyemak senarai buku-buku.\n8b. \u00a0Dia menyemak senarai buku.\n\u00a0\n9a. \u00a0*Guru itu menghimpunkan murid-murid.\n9b. \u00a0Guru itu menghimpunkan murid.\n\u00a0\n10a. \u00a0*Rumah-rumah di tempat itu cantik-cantik.\n10b. \u00a0Rumah-rumah di tempat itu cantik.\n10c. \u00a0Rumah di tempat itu cantik-cantik.\n\u00a0\nDalam kelompok ayat 7, kedua-dua kata nama ganda penuh burung-burung\u00a0dan kata kerja berterbangan\u00a0mendukung maksud jamak. Oleh itu, hanya satu mekanisme jamak harus digunakan. Dalam kelompok ayat 8, kata senarai\u00a0dan buku-buku\u00a0membawa pengertian jamak, dan tidak boleh digunakan bersama-sama. Dalam kelompok ayat 9, kata kerja menghimpunkan\u00a0mengandungi maksud jamak, dan tidak harus dikaitkan dengan kata nama ganda penuh murid-murid\u00a0yang juga bererti jamak. Dalam kelompok ayat 10, kata nama ganda penuh rumah-rumah\u00a0dan kata adjektif ganda cantik-cantik\u00a0bererti jamak, dan tidak boleh digunakan bersama-sama dalam ayat.\nWalaupun biasanya penggunaan kata yang sama erti secara berturutan atau bergandingan dalam ayat dianggap lewah, ada kalanya hal tersebut dibenarkan. Sila lihat contoh yang berikut:\n11a. \u00a0Hutan rimba di situ belum diteroka.\n11b. \u00a0Hutan belantara di situ belum dipugar.\nDalam kelompok ayat 11, kata hutan\u00a0sama erti dengan kata rimba\u00a0atau belantara. Bentuk bergandingan sedemikian terdapat pada sesetengah frasa nama. \u00a0Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n\u00a0\nWalaupun penggandingan kata nama yang seerti dibenarkan bagi frasa nama di atas, hal ini tidak melibatkan semua keadaan. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut.\n11a. \u00a0*Mereka menyeberangi sungai kali itu.\n11b. \u00a0Mereka menyeberangi sungai itu.\n11c. \u00a0Mereka menyeberangi kali itu.\n\u00a0\n12a. \u00a0*Dia membuka tingkap jendela rumahnya.\n12b. \u00a0Dia membuka tingkap rumahnya.\n12c. \u00a0Dia membuka jendela rumahnya.\n\u00a0\nBagi frasa adjektif, penggandingan kata adjektif yang seerti dibenarkan dalam keadaan tertentu. Sila lihat contoh berikut:\n\u00a0\nDalam kelompok ayat 13, kata adjektif\u00a0cantik sama erti dengan kata adjektif molek.\u00a0Penggandingan sedemikian dibenarkan kerana membawa maksud kesangatan. Sila lihat contoh yang berikut:\n\u00a0\nWalaupun bentuk bergandingan sedemikian dibenarkan bagi sesetengah frasa adjektif, hal ini tidak melibatkan semua keadaan. Sila lihat contoh berikut.\n14a. \u00a0*Budak itu bakhil lokek.\n14b. \u00a0*Budak itu bakhil kedekut.\n14c. \u00a0Budak itu bakhil/lokek/kedekut.\n14d. \u00a0Budak itu sangat bakhil/lokek/kedekut.\n\u00a0\n15a. \u00a0*Dia pemurah dermawan.\n15b. \u00a0Dia pemurah/dermawan.\n15c. \u00a0Dia sangat pemurah/dermawan.\n\u00a0\nDalam kelompok ayat 14, penggandingan kata bakhil\u00a0yang seerti dengan lokek\u00a0atau kedekut\u00a0dalam frasa adjektif tidak dibenarkan. Dalam kelompok ayat 15, penggandingan kata pemurah\u00a0yang seerti dengan dermawan\u00a0dalam frasa adjektif tidak dibenarkan. Jika maksud kesangatan hendak ditekankan, kata penguat sangat, amat\u00a0atau sungguh\u00a0harus kita gunakan." "KPM Menetapkan Garis Panduan Sekolah Hadapi Musim Kemarau\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan beberapa garis panduan berkaitan dengan persediaan institusi pendidikan menghadapi fenomena cuaca panas atau berjerebu.\nJelas KPM, garis panduan ini dilakukan ekoran daripada cuaca panas yang melampau sehingga menyebabkan beberapa lokasi menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras tidak sihat.\nDalam kenyataan media pada pagi ini, KPM menasihati semua institusi pendidikan bawah KPM agar sentiasa mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan.\nInstitusi pendidikan perlu peka dengan perkembangan semasa melalui media mengenai fenomena berjerebu di kawasan atau daerah masing-masing.\u201d\n\u201cSelain itu, semua pihak juga perlu mematuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan murid dan warga institusi pendidikan.\nAntara garis panduan menurut KPM adalah seperti berikut:\nKPM memberikan peringatan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan bawah KPM agar melaksanakan langkah pencegahan seperti yang dinyatakan.\nDalam hal ini, KPM komited mengambil berat mengenai kesihatan, keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan seluruh warga sekolah dalam menghadapi keadaan cuaca panas ataupun sebarang keadaan cuaca yang di luar jangkaan." "Menyelami Kembali Dasar Pandang ke Timur\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSalah satu daripada polisi kerajaan semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ialah Dasar Pandang ke Timur. Dasar ini telah diumumkan pada 8 Februari 1982 semasa Persidangan \u201c5th Joint Annual Conference of MAJECA/JAMECA\u201c di Hotel Hilton Kuala Lumpur. Dasar ini bermakna, pihak Kerajaan akan membuat kajian, penelitian dan pemilihan terhadap contoh dan teladan yang terbaik dari Jepun dan Korea dengan menyesuaikannya dengan keadaan semasa di Malaysia. Asas kepada polisi ini ialah negara Jepun dan Korea merupakan dua buah negara yang begitu pesat membangun. Dalam beberapa bidang, mereka dikatakan lebih maju berbanding dengan beberapa buah negara Barat. Kerajaan pada ketika itu menyatakan bahawa kedua-dua negara ini boleh dijadikan contoh dan teladan buat Malaysia dan kelebihan mereka itu wajar dipraktikkan bagi mencapai matlamat pembangunan negara dengan meningkatkan prestasi pengurusan dan pembangunan dalam sektor awam dan swasta.\nNamun begitu, kebanyakan penggubal dasar di Malaysia pada ketika itu tidak menyedari bahawa Jepun sedang menghadapi banyak masalah ekonomi dan krisis sosial akibat daripada polisi pembangunan mereka selama ini. Sebagai contoh, di Jepun, masalah kos sara hidup dan kos perumahan dikatakan sangat serius. Purata pendapatan berjumlah A.S.$2860 berbanding dengan purata kadar sewa sebanyak A.S.$1903. Di Tokyo, mereka yang tidak mampu membayar sewa rumah akan tinggal di ruang kecil seluas 20 kaki persegi di dalam kafe Internet pada setiap malam.\u00a0 Dianggarkan bahawa hampir 15 ribu orang telah hidup dalam keadaan sebegini sejak tahun 2018.\nDi samping itu, akibat daripada bebanan kewangan yang tinggi, banyak syarikat kini tidak gemar memberikan kerja tetap kepada kakitangan mereka. Oleh itu kebanyakan daripada kalangan pekerja hanya mendapat kontrak pekerjaan untuk beberapa bulan sahaja dan keadaan ini menyebabkan mereka sentiasa hidup dalam kebimbangan apabila memikirkan tentang pendapatan mereka. Hal ini ditambah pula dengan masalah kos sara hidup dan kos perumahan yang tinggi, lantas menyebabkan ramai rakyat Jepun cenderung untuk tidak berkahwin dan berkeluarga. Akibatnya kadar kesuburan di Jepun telah menurun secara mendadak, iaitu daripada 3.4 pada tahun 1950 kepada 1.3 pada tahun 2020. Hal ini bermakna jumlah penduduk di Jepun semakin berkurangan dari tahun ke tahun. Dalam erti kata lain, jumlah tenaga kerja di Jepun juga akan berkurangan dari tahun ke tahun. Sudah tentu keadaan ini akan menghasilkan kesan negatif kepada ekonomi negara Jepun dalam tempoh jangka panjang.\nPada masa yang sama, kini jumlah orang tua di Jepun pula sudah melebihi jumlah orang muda. Pada masa ini, lebih daripada 20 peratus rakyatnya berumur lebih daripada 65 tahun. Diramalkan bahawa pada tahun 2030, 30 peratus daripada rakyatnya akan berumur lebih daripada 65 tahun dan jumlah pekerja di Jepun yang produktif juga akan berkurangan dari tahun ke tahun. Siapakah yang akan membantu menjaga orang tua di Jepun jika jumlah orang muda semakin kurang sementara jumlah orang tua pula semakin meningkat?\nTerkini, terdapat satu lagi masalah sosial di Jepun yang timbul kesan daripada jumlah anak yang sedikit, \u00a0iaitu fenomena \u201cmati keseorangan\u201c dalam kalangan warga tuanya. Fenomena yang dipanggil \u201cKodukushi\u201c ini merujuk keadaan yang menyebabkan ribuan orang telah mati tanpa disedari oleh orang lain selama beberapa hari, minggu atau bulan. Bayangkan kesengsaraan yang dialami oleh orang tua yang hidup keseorangan sebelum menghembuskan nafas terakhir. Kemungkinan sebelum itu individu terbabit sudah berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya untuk keluar mencari makanan untuk dimasak. Mungkin juga warga emas tersebut tidak ada tenaga untuk melakukan rutin harian selain menyediakan makanan untuk diri sendiri. Oleh sebab kebanyakan orang Jepun tidak berkahwin dan tinggal keseorangan, atau telah berkahwin, namun suami atau isteri sudah meninggal dunia, atau berkahwin, namun tidak mempunyai anak, atau mempunyai seorang anak, tetapi anak itu terlampau sibuk bekerja dan tidak mampu menjaga ibu bapa, akhirnya ramai orang Jepun mati keseorangan diri.\nMasalah gelandangan juga wujud di Jepun. Terdapat laporan yang menyatakan bahawa jumlahnya adalah sebanyak 4000 orang pada tahun 2018.\u00a0 Namun begitu, terdapat laporan lain yang menyatakan bahawa jumlah sebenar berkemungkinan adalah jauh lebih tinggi, iaitu mungkin lebih daripada tiga kali ganda jika soal selidik berkenaan gelandangan dilakukan di sebelah malam kerana kebanyakan gelandangan di Tokyo hanya kelihatan keluar untuk tidur di tepi-tepi jalan pada waktu lewat malam. Sudah tentu keadaan sekarang adalah jauh lebih teruk akibat pandemik COVID-19 kerana banyak syarikat yang telah membuang pekerja mereka.\nMengapakah semua masalah di atas wujud di Jepun? Jawapannya ialah Jepun telah mengalami krisis ekonomi yang teruk pada tahun 1989. Punca utama tentunya melibatkan tahap hutang yang sangat tinggi dalam kalangan syarikat dan individu sebelum itu. Salah satu punca utama kepada suasana ini termasuklah kecenderungan individu dan syarikat di Jepun untuk berhutang dengan bank dan melabur dalam saham dan hartanah. Tanpa disedari, kebanyakan pelaburan itu berbentuk spekulatif. Keadaan ini disifatkan sebagai mudah berlaku kerana dana tersebut senang dipinjam dari industri perbankan. Akibat daripada suasana spekulatif ini, harga saham dan hartanah didapati naik mencanak pada awal dan pertengahan 1980-an. Suasana gelembung aset ini berakhir pada tahun 1989 dan mengakibatkan ramai orang dan banyak syarikat\u00a0 di Jepun diisytihar muflis. Oleh sebab tahap hutang di Jepun begitu tinggi, maka masalah ekonominya tidak dapat diselesaikan hingga ke hari ini dan telah mengakibatkan banyak masalah sosial seperti yang diterangkan di atas.\nSebagai rumusan, sebenarnya Jepun dan juga Korea bukanlah model pembangunan ekonomi yang harus kita contohi kerana model pembangunan mereka adalah berasaskan kepada amalan riba dan lebih tertumpu pada industri hutang. Model pembangunan sedemikian hanya mampu merancakkan ekonomi untuk tempoh masa yang terhad sahaja. Apabila tahap hutang semakin meningkat, maka banyak masalah akan timbul selepas itu. Bahkan jika tahap hutang terlampau tinggi akibat aktiviti spekulasi, krisis hutang juga akan terus menimpa negara dan kehidupan rakyat akan lebih sengsara. Model pembangunan ekonomi yang betul adalah yang bebas daripada amalan riba dan tidak berpaksikan pada industri hutang. Hal ini telah diriwayatkan kepada kita oleh Rasulullah SAW. Sistem ekonomi yang bebas riba serta berasaskan amalan zakat, derma dan wakaf adalah jauh lebih stabil dan menyejahterakan kehidupan rakyat. Oleh hal yang demikian, pada hakikatnya sistem inilah yang perlu bangunkan di negara kita sekarang.\nProfesor Dr. Mohd Nazari Ismail, Profesor Kehormat di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya." "Memajukan Industri Golf di Perlis \u2013 Pemangku Raja Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Presiden Kelab Golf Putra (KGP) berharap agar semua ahli dan juga ahli jawatankuasa (AJK) kelab akan sentiasa bersatu padu dan berusaha sebaik-baik mungkin untuk bersama-sama memajukan satu-satunya kelab golf di negeri Perlis tersebut.\nBaginda yang turut berkenan berangkat mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Golf Putra (KGP) Perlis kali ke-46 bagi sesi 2022-2024 yang diadakan di Bilik Mesyuarat KGP Perlis, di Sungai Batu Pahat pada pagi tadi turut menyampaikan titah ucapan baginda.\nDalam titah ucapan baginda,\u00a0\nPada tahun 2022, situasi ekonomi telah memberikan kesan terhadap kos operasi kelab terutamanya dengan kenaikan kos gaji dan juga kos sewaan buggy. Pelaksanaan gaji minimum telah dinaikkan sebanyak 25% manakala kos sewaan buggy pula telah bertambah sebanyak 20% setahun.\u00a0\nSituasi kenaikan kos utama ini telah memberikan suatu cabaran kepada KGP Perlis ketika berhadapan dengan pengurusan aliran tunai.\nWalau bagaimanapun, terdapat peningkatan terhadap kutipan green fees dan juga kemasukan keahlian baharu sebanyak 41 orang peserta.\nBaginda berharap agar ahli jawatankuasa kelab dapat menyusun dan mengambil langkah yang terbaik agar lapangan golf dan juga rumah kelab tersebut akan sentiasa berada dalam keadaan yang memuaskan.\nPada majlis yang sama, baginda juga menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada ahli yang telah mengambil inisiatif untuk bergotong-royong dan membantu membersihkan kawasan kelab golf tersebut.\nInisiatif tersebut dapat membantu KGP Perlis dalam usaha untuk mengurangkan kos penyelenggaraan dan hasil daripada kebersihan padang golf tersebut boleh menarik minat pemain golf dari luar Perlis untuk datang bermain di lapangan golf tersebut dan sekali gus menyemarakkan lagi sektor pelancongan sukan di negeri ini.\nTambah baginda,\nBarisan AJK juga telah membantu mengurangkan kerosakan lapangan yang berpunca daripada hidupan liar dengan memasang perangkap dan penggera, namun masalah tersebut masih belum dapat diatasi sepenuhnya.\nTuanku Pemangku Raja Perlis turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kerja Raya yang sentiasa memberikan perhatian terhadap Lapangan Golf KGP Perlis dan juga rumah kelabnya itu." "Program Kayuhan MAIPs Peduli, Selami Usaha Menyantuni Asnaf\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Menteri Kesihatan Malaysia, Dr. Zaliha Mustafa berbesar hati menyertai dan mengiringi Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam usaha menyelami usaha menyantuni golongan asnaf di negeri Perlis.\nMenurut beliau, program kayuhan tersebut selain mengamalkan amalan gaya hidup sihat, program ini juga dapat bermesra dan berkongsi rezeki, malah mengeratkan hubungan\u00a0yang baik.\nDari pemerhatian saya, program ini bukan sahaja dipelbagaikan malah menjadi satu instrumen yang membuatkan rakyat berasa sangat dekat dengan pimpinan tertinggi negeri, khususnya baginda dan pimpinan daripada agensi negeri dan persekutuan yang lain.\n\u201cSaya berasa amat kagum dapat melihat sendiri kemesraan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama rakyat jelata,\u201d kata Dr. Zaliha Mustafa dalam Program Kayuhan Berbasikal MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di pekarangan Kompleks Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Jalan Raja Syed Alwi Kangar, semalam.\nProgram kayuhan sejauh 15 kilometer tersebut turut disertai sama oleh Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr. Norhayati Rusli dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Dr. Asmayani Khalib.\nHadir menyambut ialah Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Ismuni Bohari; dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor yang turut membentangkan senarai kerjasama yang sedang dan akan dilaksanakan oleh MAIPs bersama-sama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis demi untuk kesejahteraan hidup masyarakat di negeri Perlis ini.\nMengulas lanjut, Menteri Kesihatan itu juga berharap agar Program Kayuhan MAIPs Peduli ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa dan program seperti ini dapat dijadikan contoh oleh negeri-negeri lain.\nBeliau turut menyatakan program kali ini bukanlah kali pertama dan kali terakhir buat dirinya dan pasukan akan hadir ke Perlis malah banyak lagi kerjasama yang dapat dijalankan bersama pimpinan negeri Perlis ini.\nDalam perkembangan yang lain, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan singgah ke tiga buah lokasi rumah kediaman asnaf terpilih sekitar Kampung Kota dan Kampung Guar Syed Alwi di Kangar.\nTiga asnaf bernasib baik berkenaan ialah Amir Mat Alim, 36; Abdullah Yusof, 77; dan Hamzah Chat, 74. Masing-masing menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM700 daripada MAIPs yang disampaikan sendiri oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs." "Sasaran PBAKL 2023 Lebih 1.3 Juta Pengunjung\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013\u00a0Dengan 10 elemen keterujaan yang ditawarkan, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 mensasarkan lebih daripada 1.3 juta pengunjung dengan menyediakan 811 reruai yang disertakan oleh 138 pempamer.\nTimbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), Dr. Ahmad Rafee Che Kassim berkata bahawa kehadiran pengunjung boleh melebihi sasaran jangkaan apabila pesta buku pada kali ini dilakukan secara hibrid buat kali kedua bersama-sama platform e-dagang.\nAntara keterujaan PBAKL 2023 kali ke-40 ini, termasuklah penyertaan negara China sebagai Negara Tamu, Sarawak sebagai Negeri Tamu dan Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai Kementerian Tamu.\u201d\n\u201cBudaya membaca merupakan satu kemestian kepada pembangunan masyarakat MADANI yang berpengetahuan, berbudaya dan berdaya cipta tinggi.\nSetiap individu sama ada pelajar mahupun individu dewasa perlu membaca setidak-tidaknya 20 buah buku setahun bagi mengekalkan kemapanan ilmu pengetahuan serta meningkatkan pertimbangan ideologi sebagai rakyat sesebuah negara.\nDemikian antara ucapan Dr. Ahmad Rafee dalam Majlis Prapelancaran PBAKL 2023 dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Industri Perbukuan 2023 di The Barn, Cyberjaya pada pagi tadi.\nSementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2023, Encik Mohd. Khair Ngadiron menyatakan bahawa sasaran program ini adalah untuk merealisasikan aspirasi pendekmorasian akses perbukuan yang didukungi oleh inisiatif pendigitalan.\nSelain keterujaan yang ditampilkan, kerjasama penganjur dengan Syarikat TikTok dalam menggalakkan budaya membaca rakyat dilihat sebagai sebuah ikhtiar yang sangat baik dan mengikut trend.\nPada masa yang sama ketika sidang media tersebut, Dr. Ahmad Rafee menyatakan bahawa Pertandingan Resensi Buku di TikTok atau BukuTok Malaysia merupakan langkah yang memberikan nafas baharu dalam mempromosikan budaya membaca, sekali gus menjadi tarikan ke PBAKL 2023.\nMenurut beliau, karyawan, pengarang, penerbit dan pemegang taruh dalam industri buku perlu mengetahui peranan masing-masing dalam usaha menyokong pertumbuhan dan memupuk kelangsungan pembinaan negara bangsa melalui budaya membaca.\nMengulas lanjut mengenai PBAKL 2023, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dengan usahanya yang berterusan akan menganjurkan pesta buku ini pada 26 Mei hingga 4 Jun 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur." "Kebenaran Khas Memakai Pakaian Sukan semasa Cuaca Panas\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana semasa menghadapi cuaca panas dan kering berpanjangan yang sedang melanda negara.\nFenomena cuaca panas dan kering yang melanda di negara ini merupakan keragaman iklim yang berlaku secara tidak tetap yang boleh mencetuskan gelombang haba yang memudaratkan kesihatan.\nMenerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh KPM pada hari ini, KPM bersetuju untuk memberikan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikan bawah KPM untuk memakai pakaian sukan yang sopan bagi mengelakkan sebarang komplikasi terhadap kesihatan.\nSelain memberikan kebenaran bagi murid untuk berpakaian sukan,\u00a0 murid yang memakai pakaian seragam sekolah juga diberikan kebenaran untuk tidak memakai tali leher.\nDalam kenyataan yang sama, KPM turut meminta agar pihak sekolah untuk sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa supaya tindakan segera dapat diambil bagi menjamin kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana.\nKPM sentiasa mengambil berat kesejahteraan seluruh warganya." "Pemangku Raja Perlis Menziarahi Mangsa Kebakaran Rumah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau\u00a0\u2013 Pemangku Raja Perlis,\u00a0DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menziarahi mangsa kebakaran rumah, Ramli Bakar di Kampung Pida 3, Semut Gatal, Arau pada petang semalam.\nMenurut laporan, kejadian kebakaran\u00a0tersebut berlaku pada sekitar pukul\u00a04.00\u00a0petang pada hari Isnin baru-baru. Bencana\u00a0ini telah menjejaskan keseluruhan struktur rumah berkenaan dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak berwajib.\nTuanku Pemangku Raja telah berkenan menyampaikan \u00a0sumbangan bantuan awal bencana bagi pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebanyak RM700.\n\u201cSemoga mangsa dan keluarga\u00a0terus\u00a0kuat dan tabah untuk mengharungi dugaan di bulan Syawal ini,\u201d titah baginda mendoakan kesejateraan rakyatnya.\nTuanku Raja Muda Perlis yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyaksikan penyerahan bantuan bencana dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis berjumlah RM5700 yang disampaikan oleh pengarahnya, Ku Chik Ku Md Isa.\nTurut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.\nDalam perkembangan yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor berkata, pihaknya akan mempertimbangkan cadangan untuk membaik\u00a0pulih kediaman yang terjejas tertakluk kepada segala garis panduan yang telah ditetapkan." "Sekolah Buluh: Pedagogi Berasaskan Alam Semula Jadi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSekolah atau sesebuah institusi pengajian merupakan medium atau tempat bagi guru menyebarkan ilmu kepada penuntut ilmu atau pusat bagi pencinta ilmu berhimpun bagi menerima ilmu daripada seseorang yang berkeahlian. Di sekolah, aspek teori dan praktikal diajar dan dipelajari secara terperinci agar seseorang itu dapat memanfaatkannya bagi meneruskan kelangsungan hidup di samping dapat memberikan kebaikan untuk dirinya dan kepada orang lain.\nSekolah juga menjadi simbol kepada ahli ilmu dalam menghubungkan dirinya dengan keperluan untuk menyempurnakan pencapaian intelek dan tanggungjawab melestarikan dan memastikan kesejahteraan alam sekitar agar dunia atau bumi menjadi selamat dan tenteram untuk diduduki. Dengan kata lain, sekolah menjadi pemanifestasian kerangka keintelektualan dalam bentuk simbol atau lambang yang menyerlahkan ketinggian ilmu seseorang, sesuai dengan aspirasi dan inspirasi yang mengikat dan menjalin hubungan antara manusia dan keperluannya dalam memenuhi tuntutan bagi menguruskan alam dan isi kandungannya.\nOleh sebab itu, reka bentuk, seni bina dan infrastruktur bagi sesebuah sekolah atau institusi menjadi cerminan kepada misi dan visi yang hendak diraih oleh sesebuah institusi tersebut dan dalam masa yang sama, menjadi simbol kepada hala tuju atau objektif yang hendak dicapai. Sebagai contoh, seni bina yang menjadi asas kepada salah satu institusi pengajian yang terbesar dan tertua di dunia, iaitu Al-Azhar yang terletak di Mesir merupakan masjid yang menjadi simbol kepada kehidupan keagamaan dan kebudayaan masyarakat Muslim di seluruh dunia. Institusi terkemuka di United Kingdom pula mengetengahkan seni bina gothik yang mempunyai ciri-ciri seperti gerbang yang tajam, kekubah beralur dan banir berjangkang yang diinspirasikan daripada semangat kejelasan struktur yang sempurna serta dapat melonjakkan sifat organik dan menyerlahkan kejujuran pembinaannya. Secara simboliknya, seni bina ini dapat mempamerkan kejuruteraan inovatif yang menjadi bukti kepada kebijaksanaan manusia.\nDi sesetengah tempat, elemen mesra eko-sistem menjadi asas kepada seni bina sesebuah institusi. Contoh terbaik ialah Green School Bali yang terletak di Bali, Indonesia yang mula dibuka pada tahun 2008. Matlamat utama penubuhannya adalah untuk menghidupkan kurikulum pendidikan yang berasaskan kesedaran untuk melestarikan alam menerusi kesepaduan komuniti dan pembelajaran keusahawanan dalam persekitaran semula jadi.\u00a0 Sebagaimana yang ditegaskan oleh pengasasnya, John Hardy dan pasangannya Cynthia, institusi ini menjadi model pembinaan dunia yang memberikan penekanan kepada pentingnya kelestarian alam sekitar di sisi masyarakat global.\nBagi merealisasikan usaha menghijaukan alam sekitar, buluh dipilih sebagai tema utama seni bina institusi tersebut. Buluh dianggap sebagai sumber yang sangat tepat kerana ciri atau sifatnya yang berkait rapat dengan perkembangan potensi dalam pendidikan yang melibatkan proses eksperimentasi, inovasi dan rumusan penyelesaian. Oleh itu, modul pembelajarannya akan tertumpu kepada ekologi dan kelestarian dengan menghubungkan pelajar kepada geografi dan konteks budaya setempat dengan menggunakan pendekatan pengalaman secara langsung. Kaedah ini dapat menggarap pengetahuan asas yang merangkumi kemahiran membaca, menulis, sains dan matematik.\nAntara contoh projek yang berasaskan pengalaman langsung boleh dilihat dalam Green Projects Hub. Dalam projek ini, pelajar yang menyertainya perlu mematuhi tujuh prinsip utama, iaitu pertama, projek mesti mengikut matlamat pembangunan mampan; kedua, kriteria pemilihan projek mestilah berlandaskan kepada perancangan yang bernas; ketiga, semua idea dialu-alukan dan dihormati secara terbuka; keempat, bantuan dan bimbingan akan sentiasa dapat dicapai oleh semua orang; kelima, kerjasama dipupuk dengan rasa hormat dan amanah dalam kalangan semua yang terlibat; keenam, pemikiran reka bentuk dan kemahiran pengurusan projek perlu disemai dalam diri setiap orang yang terlibat; dan ketujuh, ruang dan sistem hendaklah digunakan dan diuruskan dengan betul oleh semua pengguna dan rakan usaha sama.\nPengalaman langsung ini turut dipraktikkan dalam kehidupan yang bersifat permakultur, yang merujuk pembangunan ekosistem pertanian yang bersifat mampan dan berdikari. Dengan cara tersebut, warga Green School dapat mempelajari kegiatan yang melibatkan kelangsungan secara berterusan dalam setiap aspek pengurusan kehidupan yang cenderung bersifat komuniti. Sistem yang asalnya berasaskan pertanian diperluaskan menjadi budaya tetap yang menekankan aspek sosial sebagai tunjang kepada falsafah semula jadi. Sistem ini menggabungkan seni bina dan kejuruteraan ekologi, reka bentuk alam sekitar dan pembinaan dan pengurusan sumber air bersepadu. Kehidupan yang mempunyai ciri permakultur ini dilaksanakan melalui kegiatan Kul Kul Farm, iaitu tumbuhan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, herba dan bunga ditanam secara organik. Baja dibuat sendiri menggunakan pendekatan bio-intensif dan pertanian sintropik. Haiwan yang menjadi sumber makanan diternak, manakala bangunan yang menjadi tempat kediaman pelajar dan guru pula dibina sendiri dengan menggunakan buluh. Di Kul Kul Farm juga, warga Green School menghasilkan produk perubatan herba seperti teh, minyak terapi dan rawatan penjagaan kulit.\nHasil tanaman dan ternakan tersebut kemudiannya digunakan untuk penyediaan makanan dan minuman di kafe yang turut melibatkan pengolahan ramuan untuk membuat snek semula jadi dan jus minuman yang tidak menggunakan bahan pengawet. Pengalaman di Kul Kul Farm kemudiannya dikongsikan dalam bentuk seminar, bengkel dan acara, untuk menerangkan fungsi penggunaan buluh dalam seni bina dan reka bentuk, penyediaan landskap, dan kaedah penanaman dan penternakan secara organik. Green School menerusi aktiviti Kul Kul Farm turut menawarkan khidmat runding cara dan bimbingan untuk projek luar di sekitar Indonesia.\nProgram pengajian yang ditawarkan oleh Green School ini terbuka kepada individu yang berumur dari tiga tahun hingga ke peringkat sekolah tinggi. Matlamat kurikulum institusi ini terdiri daripada lapan piagam utama, iaitu pertama, untuk memupuk rasa hormat terhadap alam semula jadi; kedua, untuk meningkatkan kesedaran terhadap alam sekitar dan menggalakkan pengawasan; ketiga, untuk membangunkan nilai ekologi yang mendalam; keempat, untuk memahami dan mengamalkan permakultur sebagai satu integrasi yang harmoni antara tanah dengan manusia bagi mendapatkan bekalan makanan, tempat tinggal dan sumber tenaga dengan cara yang mampan; kelima, untuk membina kesedaran tentang pentingnya penggunaan bahan binaan yang mampan dan boleh diperbaharui seperti buluh yang mudah diakses untuk kegunaan rantaian makanan, sistem akuatik dan penternakan haiwan; keenam, untuk memahami kemampanan dan sistem sebagai rangkaian perhubungan yang berinteraksi dengan komuniti manusia dan bukan manusia dengan cara yang membolehkan mereka hidup dan berkembang mengikut sifat mereka; ketujuh, untuk memupuk rasa cinta mempelajari tentang diri sendiri dan orang lain, dan dunia yang lebih luas dengan cara menghormati, mempunyai pemahaman yang mendalam dan kehidupan bersama-sama dengan penuh kasih sayang; dan kelapan, untuk menyemai rasa bangga, tanggungjawab dan kerjasama dalam kalangan pelajar sebagai pelajar sepanjang hayat dan pemimpin masa hadapan.\nPembelajaran keusahawanan yang menjadi satu daripada teras dalam kurikulum Green School dimulakan dari peringkat pengajian paling rendah dengan membentuk ciri peribadi yang mempunyai keyakinan dan keazaman agar dapat melahirkan kesan positif kepada kemajuan dunia melalui kemahiran, tabiat dan sikap yang berasaskan kepada pendidikan dunia yang mampan dalam konsep pembelajaran yang aktif yang bersifat cuba-gagal dan kritis.\nOleh sebab itu, pada peringkat sekolah tinggi, pelajar akan mengikuti modul khas yang unik yang dipanggil sebagai Greenstone, modul ini memberikan peluang kepada murid untuk mengembara ke ruang metakognitif yang mendalam bagi membolehkan mereka merenung kedudukan mereka dalam kehidupan di dunia. \u00a0Seterusnya mereka dapat meneroka pilihan yang membawa kepada penemuan yang mencerahkan diri, mencari nilai diri, memikirkan secara kritis dan membangunkan hubungan yang berkekalan dengan minat dan mencari rakan kongsi serta mengintai laluan kerjaya yang berpotensi. Dengan bahasa mudah, Greenstone menawarkan pengupayaan perancangan dan pembinaan destinasi kehidupan secara reflektif dari alam akademik kepada alam kerjaya dengan dibimbing, disokong dan dikongsi bersama-sama komuniti tempatan dan global.\nPendidikan berterusan yang berasaskan kepada kesedaran ekosistem ini tidak hanya terbatas kepada golongan kanak-kanak dan remaja sahaja, tetapi juga kepada golongan dewasa khususnya golongan pendidik dan profesional. Green Educator Course (GEC) misalnya menawarkan program latihan pembangunan profesional kepada masyarakat dan orang ramai yang berminat tidak terhad kepada warga Green School, tetapi juga kepada sesiapa sahaja, khususnya yang bergelar sebagai pendidik dari seluruh dunia.\nProgram ini dijalankan secara berterusan sepanjang tahun dengan tumpuan diberikan kepada pembinaan pedagogi dan prinsip reka bentuk asas kurikulum holistik yang berpusatkan kepada pelajar dan berasaskan kepada alam semula jadi. Program ini terbahagi kepada dua pilihan, iaitu sama ada secara fizikal atau secara dalam talian. Bagi program fizikal, sebagaimana yang ditawarkan di Green School Bali, peserta digalakkan untuk tinggal di kampus Green School agar dapat merasai sendiri kehidupan hijau dengan bermalam di Green Camp Lodge, iaitu sebuah kompleks asrama buluh yang berangin dan selesa dengan katil buluh dua tingkat yang boleh memuatkan sehingga 40 orang dalam satu pondok. Bilik tersebut dilengkapi dengan kipas siling, kelambu, peti kunci untuk barang berharga, cadar, selimut dan tuala. Wanita dan lelaki akan menginap di dalam bilik yang berbeza dengan kemudahan bilik mandi yang berasingan. Fakta menarik tentang program ini ialah peserta yang berjaya menghabiskan keseluruhan program ini boleh memohon jawatan sebagai guru di institusi tersebut.\nBagi peserta yang memilih untuk mengikuti program secara dalam talian, mereka akan diberikan beberapa kredit untuk setiap kursus yang perlu diselesaikan tepat pada masanya. Kredit Kursus Pendidik Hijau diterjemahkan secara kasar ke dalam jam komited yang telah ditetapkan untuk amalan menjadi Pendidik Hijau. Sijil GEC akan diberikan kepada mereka yang telah menyelesaikan 100 kredit kursus.\nDalam program Bamboo U, iaitu singkatan kepada Bamboo University, peserta yang mempunyai latar belakang seni bina, seni reka dan kejuruteraan atau sesiapa sahaja yang meminati seni bina yang berasaskan ekosistem boleh mempelajari cara membina infrastruktur dengan menggunakan buluh. Lima faedah utama mengikuti program ini ialah pertama, dapat memvisualisasikan idea; kedua, dapat mewakilkan reka bentuk dalam 3D sebenar; ketiga, dapat menguji dan membangunkan idea; keempat, dapat membangunkan pelan tindakan fizikal; dan kelima, dapat mengetahui kos yang bersesuaian dengan struktur yang dibina.\nProgram yang dijalankan selama 11 hari ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kemahiran menggunakan buluh, tetapi juga untuk meningkatkan kesedaran tentang simbiosis alam semula jadi yang tidak memerlukan lampu berpendarfluor dan dinding konkrit. Peserta akan diberikan penerangan tentang sifat buluh yang menakjubkan dan mempunyai kekuatan semula jadi serta sifat mekanikalnya yang berupaya menjadikan sesuatu bahan binaan itu kukuh dan tegap. Ini adalah kerana buluh mempunyai kandungan kanji yang optimum yang jika digunakan tanpa dirawat masih boleh bertahan untuk tempoh yang panjang. Dengan kata lain, buluh adalah sejenis tumbuhan yang sangat tahan lasak.\nBuluh dikatakan mempunyai kekuatan tegangan yang lebih tinggi dari keluli. Menurut tulisan Nathalie Brundell yang tersiar dalam Lochtree pada 27 Ogos 2021, buluh mempunyai kekuatan tegangan sebanyak 28 000 PSI berbanding dengan keluli, iaitu sebanyak 23 000 PSI. Maka tidak hairanlah apabila buluh dipilih sebagai bahan binaan yang utama selama beribu-ribu tahun, khususnya di beberapa tempat di rantau Asia Tenggara. Selain itu, buluh mempunyai sifat semula jadi sebagai anti bakteria dan anti kulat sehingga sesuai dijadikan produk alatan rumah seperti berus gigi dan peralatan dapur yang bebas dari bakteria dan toksin.\nPemilihan buluh sebagai simbol ekosistem kepada Green School Bali dianggap tepat kerana berasaskan kepada penyelidikan moden yang dilaporkan oleh Nathalie, buluh membebaskan 35% lebih banyak oksigen ke udara berbanding \u00a0dengan pokok lain. Buluh juga boleh menyerap 12 tan karbon dioksida setiap hektar dan tahun sehingga menyebabkan pakar dalam kajian alam sekitar percaya bahawa buluh boleh memainkan peranan penting dalam masa depan yang lebih hijau.\nDengan prospek yang lebih cerah di samping meluaskan kesedaran dan kefahaman tentang pentingnya penjagaan ekosistem, Green School telah mengorak langkah dengan membuka beberapa lagi cawangan di seluruh dunia, iaitu di Taranaki, New Zealand; Western Cape, Afrika Selatan; dan Tulum, Mexico. Kurikulum \u201chidup\u201d Green School adalah untuk mendidik kelestarian melalui pembelajaran keusahawanan bersepadu komuniti dalam persekitaran tanpa dinding dan alam semula jadi. Mesej yang dibawa ini sama seperti di setiap cawangan, iaitu berusaha untuk memperjuangkan modul pendidikan baharu yang dapat memupuk masyarakat agar dapat berkembang maju dalam dunia yang sentiasa berubah tanpa mengabaikan aspek kemampanan dalam kehidupan." "Tingkatkan Kualiti Pendidikan Golongan Asnaf \u2013 Pemangku Raja Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nChuping\u00a0\u2013 Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan masyarakat agar memainkan peranan masing-masing dalam usaha meningkatkan kualiti dan impak pendidikan kepada masyarakat, terutamanya golongan asnaf.\nIsu berkaitan dengan kualiti guru, kepimpinan sekolah, kurikulum dan pentaksiran, kemampuan murid menguasai bahasa, peranan ibu bapa dan masyarakat, penggunaan sumber yang berkesan serta kapasiti dan keupayaan sistem penyampaian pendidikan negara harus sentiasa diberi perhatian serius.\u201d\n\u201cJika semua aspek ini terus dimantapkan melalui satu proses transformasi pendidikan secara menyeluruh, sudah pasti generasi muda mampu dipersiapkan untuk menerajui negara pada masa akan datang dengan mantap sekali.\nTitah Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat ke Masjid As-Solihin, Kampung Bawah Bukit, Chuping untuk menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).\nSebanyak 130 orang asnaf terpilih melibatkan para penerima dari kariah masjid berkenaan dan juga kariah Bukit Keteri.\nTurut hadir ke majlis tersebut ialah Mufti Negeri Perlis, Dato\u2019 Arif Perkasa Prof. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor. Masing-masing menerima RM700 daripada baginda.\nPada masa yang sama, Pemangku Raja Perlis yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut menitahkan bahawa pihak MAIPs melalui Ahli Jawatankuasa Pelajarannya, turut sama sentiasa memikirkan kaedah terbaik bagi memainkan peranan kecilnya membantu Jabatan Pendidikan Negeri demi melonjakkan lagi sistem pendidikan negara.\nBaginda yakin hasrat untuk memajukan sektor pendidikan akan terlaksana dengan izin Allah SWT melalui segala perancangan serta inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan." "Tali Pinggang Pahlawan Muay Thai 2023 Jadi Rebutan 64 Peserta Tempatan dan Antarabangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKulim \u2013 Kejohanan Bertaraf Antarabangsa Tali Pinggang Pahlawan Muay Thai 2023 sempena Karnival Sukan Seni Bela Diri di bawah tajaan Ketolabs Malaysia selama dua hari berlangsung di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kedah bermula hari ini.\nKetolabs Malaysia merupakan pengeluar dan pengedar tunggal burger Malaysia yang boleh dimakan oleh rakyat negara ini pada bila-bila masa sahaja.\nPengerusi kejohanan itu, Muhammad Faizol Mukhtar berkata, seramai 64 peserta termasuk dari luar negara seperti Thailand, Cambodia, Brazil, Jerman, Amerika Syarikat dan lain-lain akan menunjukkan aksi perlawanan masing-masing dari pagi.\nPeserta tempatan dan luar negara akan berlawan di atas pentas bagi mendapatkan Tali Pinggang Kejuaraan yang disediakan oleh pihak penganjur.\nKira-kira 4,000 orang penonton bakal menyaksikan kejohanan terbesar kali ini di samping mendapat hadiah melalui cabutan nombor bertuah berupa sebuah motosikal jenama Yamaha Y16ZR berharga RM11,000, barang kemas serta wang tunai.\nMohammad Faizol berkata, kejohanan ini mendapat kelulusan daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS), mematuhi syarat yang ditetapkan dan berinsurans dengan kerjasama Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).\nKehadiran beberapa orang peserta hebat berstatus dunia di kejohanan ini begitu bermakna sekali.\nKita berharap Kejohanan Tali Pinggang Pahlawan Muay Thai kali ini bakal menjadi acara tahunan di negeri Kedah pada masa akan datang.\nDiharapkan juga dengan adanya kejohanan seperti ini, ia (kejohanan ini) akan membawa satu aktiviti sihat kepada penggiat sukan seni bela diri bagi rakyat Malaysia khasnya." "Memperkasakan Bahasa Melayu Tanggungjawab Semua Kaum\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Majlis Pelancaran Program Inisiatif Memperkasakan Bahasa Melayu yang berlangsung pada pukul 10.00 pagi tadi telah disempurnakan oleh YB Senator Tan Sri Dato\u2019 Seri Utama Dr. Rais Yatim, selaku Yang di-Pertua Dewan Negara di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nMajlis anjuran DBP melalui Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Persatuan Kebudayaan Han Malaysia (HAN) dan Akademi Pendidikan Digital (APD) ini\u00a0 turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan (Pengerusi Lembaga Pengelola DBP),\u00a0 YBhg. Datuk Goh Hin San (Presiden HAN), Puan Sarina Salim (Timbalan Pengarah Sektor Bahasa dan Kesusasteraan, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)), tetamu kenamaan, para pegawai DBP, guru-guru dan pelajar sekolah.\nDalam ucapannya, beliau berkata, masyarakat tidak perlu bosan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu kerana bahasa Melayu perlu diwarisi sehingga generasi seterusnya.\nTahniah di atas usaha murni ini. Usaha memajukan bahasa Melayu ini diharapkan akan diteruskan juga oleh masyarakat Tamil dan masyarakat Sabah dan Sarawak. Kita tidak mengetepikan bahasa lain tetapi meletakkan bahasa Melayu sebagai tiang seri, iaitu bahasa Melayu perlu dijunjung di negara ini.\nTambahnya lagi, suasana bahasa Melayu pada hari ini amat mencabar kerana banyaknya pengaruh dan munculnya filem dari luar negara terutama bahasa Inggeris yang semakin berleluasa. Perjuangan warga Malaysia ke arah memartabatkan bahasa Melayu perlu diteruskan sehingga ke anak cucu walaupun pengaruh bahasa Inggeris akan terus berlaku. Selain itu, bahasa lain juga perlu dipelajari termasuklah bahasa Mandarin.\nBeliau turut menggesa masyarakat Malaysia agar memperluas minda dalam isu bahasa Melayu. Menurutnya, bahasa Melayu bukan hanya untuk bercakap dan berpidato semata-sama tetapi mesti menjalar di sanubari masyarakat termasuklah masyarakat di Sabah dan Sarawak.\nBahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah dikempenkan oleh DBP. Jadi, semua kempen bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan harus diagihkan tanggungjawab ini kepada semua kaum di Malaysia termasuklah masyarakat di Sabah dan Sarawak. Begitu juga dengan ikon bahasa Melayu dan penulis dalam kalangan bukan Melayu termasuklah penyedia istilah bahasa Melayu dan kamus Melayu dalam bidang sastera dan kebudayaan perlu diberi penghargaan.\nPada majlis yang sama, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan turut menyampaikan ucapan alu-aluannya yang menekankan usaha memperkaya khazanah persuratan Melayu dalam segala ranah ilmu penting sebagai prasyarat tamadun yang utuh demi memantapkan keyakinan masyarakat terhadap kemampuan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan, sesuai dengan tuntutan semasa.\nTambahnya lagi, DBP akan terus melaksanakan dan melipatgandakan usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan selaras dengan wawasan utamanya, iaitu untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai satu daripada bahasa utama dunia dengan teknologi maju sebagai sarana utamanya.\nPenganjuran Program Inisiatif Memperkasakan Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan yang dianjurkan oleh HAN diharapkan dapat membantu DBP mengukuhkan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan bahasa ilmu.\nSementara itu, menurut YBhg. Datuk Goh Hin San, program ini dilancarkan khas bagi sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang memberikan satu pendekatan baharu yang akan ditawarkan kepada seluruh SJKC. Program ini turut dihasilkan mengikut tahap pembelajaran pelajar. Program ini juga bertujuan untuk menanam minat di sanubari pelajar supaya dapat bercerita dalam bahasa Melayu, memberikan dorongan serta untuk mencungkil minat pelajar terhadap bahasa Melayu.\nTerima kasih kepada YB Senator Tan Sri Dato\u2019 Seri Utama Dr. Rais Yatim yang menjadi peneraju dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dan sebagai obor yang menerangi perkembangan bahasa Melayu, juga kepada KPM, Jabatan Pendidikan Negeri, APD, Persatuan Kebangsaan Guru-guru Besar Malaysia dan DBP, serta Majlis Bahasa Cina Malaysia yang peka dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu di SJKC.\nPada majlis itu juga Puan Sarina Salim yang mewakili YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, iaitu Ketua Setiausaha (KSU), KPM\u00a0 menyatakan penghargaan KPM kepada pihak HAN atas usaha memartabatkan bahasa Melayu di SJKC.\nKPM menyambut baik usaha pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan pelajar di SJKC yang diharapkan dapat meningkatkan penguasaan bahasa Melayu mereka. Penguasaan bahasa Melayu penting untuk memupuk perpaduan pelbagai kaum di negara ini. Pembelajaran dan penguasaan bahasa Melayu perlu ditekankan dari peringkat awal terutama dari peringkat prasekolah. Kebanyakan pelajar SJKC mudah menguasai bahasa Melayu dengan baik, namun penggunaannya harus dipraktikkan dengan lebih kerap. Usaha ini diharapkan dapat diteruskan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain." "Perlunya Kolaborasi Semua Pihak dalam Membantu Golongan yang Memerlukan \u2013 Pemangku Raja Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nChuping \u2013 Dalam usaha membasmi kemiskinan di negeri Perlis, tindakan bersepadu perlu sentiasa diberikan tumpuan dan dilaksanakan secara kolaborasi.\nSemua pihak perlu menggembleng tenaga dan memberikan komitmen yang tinggi agar taraf hidup golongan ini dapat ditingkatkan melalui peningkatan pendapatan yang mampan.\nBerdasarkan rekod, seramai 11 032 Ketua Isi Rumah (KIR) didapati telah berdaftar dalam sistem eKasih di bawah kategori miskin dan miskin tegar di negeri ini.\nDemikian titah Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs selepas berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat bersempena dengan Program Kayuhan MAIPs Peduli kepada Abu Seman Saad, 73, di Kampung Bawah Bukit; Besah Mat, 65, di Kampung Balik Bukit dan Raimijim Abdurajin, 48, di Kampung Titi Besi Chuping, baru-baru ini.\nMasing-masing mereka menerima RM700 secara tunai daripada MAIPs, sekampit beras serta bekalan makanan mentah setiap seorang.\nPada petang tersebut, faktor keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini tidak menjadi penghalang bagi program menjejaki dan menyantuni asnaf di negeri Perlis itu terus dilaksanakan.\nDYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan bahawa dalam apa-apa jua keadaan, golongan yang memerlukan ini perlu sentiasa diberikan perhatian dan semua pihak wajib memastikan mereka mendapatkan sumbangan dan bantuan yang sewajarnya." "Mulut Manis, Jangan Percaya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cMat, pinjam RM500. Dapat gaji, aku bayar.\u201d Pernahkah anda terdengar dialog tersebut meniti di bibir insan yang rapat dengan anda? Atau adakah anda pelakunya? Saban hari isu berkaitan dengan hutang atau memberi hutang (pemiutang) menjadi perhatian dan tidak pernah jemu diluahkan oleh kebanyakan masyarakat di laman media sosial. Hal ini demikian kerana sikap tidak amanah individu yang berhutang untuk membayar balik hutang tersebut. Sejak kebelakangan ini masyarakat memilih media sosial untuk meluahkan perasaan dan menyebarkan maklumat untuk menjadi masyhur dengan perkongsian tersebut.\nDalam hal berhutang, sikap amanah saling berkait rapat dengan sikap bertanggungjawab dan perlu disemat dalam diri setiap individu. Konstruk amanah merupakan satu daripada sifat mahmudah yang dapat menonjolkan amalan bantu-membantu dan belas kasihan seseorang untuk menghulurkan bantuan kepada individu yang memerlukan. Perkara yang dikhuatiri berlaku adalah sebaliknya, iaitu apabila seseorang penghutang bertindak memecahkan amanah yang dipikul dengan lewat atau gagal membayar hutang mengikut perjanjian yang telah dipersetujui.\nBerdasarkan firman Allah SWT: \u201cWahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermuamalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya .\u201d (Surah al-Baqarah, ayat 282). Firman Allah SWT ini jelas menyatakan bahawa apabila seseorang itu berhutang, hendaklah kedua-dua belah pihak merekodkan perjanjian tersebut secara bertulis agar jelas menyatakan tempoh menyelesaikan hutang tersebut mengikut waktu yang ditetapkan.\nPerjanjian bertulis tersebut akan memudahkan pemiutang untuk mendapatkan kembali haknya sekiranya penghutang bersikap berdolak-dalik untuk membayar hutang tersebut. Berkemungkinan besar, dengan mulut manisnya juga akan meminta penghutang untuk mengurangkan jumlah pinjaman kerana isu tersebut telah lama berpanjangan. Namun begitu, sekiranya pemiutang tidak reda dengan tindakan tersebut, penghutang boleh mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.\nKita perlu berasa syukur kerana negara kita mempunyai undang-undang yang boleh disabitkan dengan hal berkaitan dengan hutang ini. Menurut Mohamad Zufarsyah dari firma guaman Abdul, Low & Partners, untuk mendapatkan kembali hutang tersebut, pemiutang boleh mengeluarkan surat tuntutan dan/atau menuntut hak terhadap penghutang. Penghutang perlu memastikan semua dokumen dan rekod lengkap untuk membuktikan kewujudan transaksi antara pemiutang dan penghutang.\nMutakhir ini, masyarakat lebih gemar berhutang dengan individu yang mempunyai hubungan rapat dengan mereka, contohnya dengan kawan atau ahli keluarga kerana mereka berpendapat bahawa urusan tersebut tidak memerlukan catatan khusus atau melibatkan saksi. Pujuk rayu dan mulut manis merupakan satu daripada langkah awal untuk berhutang. Disebabkan terselitnya rasa ihsan, mereka memberikan hutang tersebut atas dasar ukhwah persahabatan dan kekeluargaan yang tinggi kepada individu penghutang.\nHal ini berbeza sekiranya penghutang meminjam wang dengan Along (ceti haram). Prosedur awal untuk meminjam dengan Along sangat mudah. Hanya perlu menyatakan nilai yang hendak dipinjam, mengetahui syarat yang dikenakan dan tempoh masa yang perlu dikembalikan wang tersebut termasuk dengan bunganya. Along tidak menetapkan had pinjaman kepada penghutang asalkan pada suatu tempoh masa yang ditetapkan, hutang tersebut dapat dilunaskan.\nWalaupun hampir kebanyakan masyarakat mengetahui akan natijahnya, iaitu tindakan mereka yang lebih dahsyat untuk mendapatkan kembali wang yang dipinjamkan, namun masih ada individu yang meminjam wang dengan Along. Jarang sekali nyawa seseorang itu tidak terancam dan menyebabkan tekanan dan mengganggu gugat ketenteraman hidup penghutang, termasuklah ahli keluarganya. Akan tetapi, sikap tidak bertamadun lintah darat ini tidak akan berterusan sekiranya penghutang tidak bermulut manis membuat pinjaman wang melebihi kemampuan untuk membayar balik.\nSikap culas membayar hutang ini turut disebut di dalam hadis melalui sabda Rasulullah SAW: \u201cSesiapa menghilangkan suatu kesusahan Muslim daripada kesusahan dunia, nescaya Allah akan menghilangkan daripadanya kesusahan akhirat. Dan sesiapa yang memberi kemudahan kepada orang yang mu\u2019sir (kesulitan membayar hutang), nescaya Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Dan Allah selalu menolong hamba-Nya selama hamba berkenaan menolong saudaranya.\u201c (Hadis Riwayat Muslim).\nBenarlah kata pepatah, ukur baju di badan sendiri. Pepatah ini merupakan kayu ukur seseorang agar cakna dengan tahap kemampuan dalam berbelanja. Perbelanjaan yang besar tanpa memikirkan tentang keperluan atau kehendak boleh membawa seseorang menempuh dugaan untuk berhutang. Maka itu, kita hendaklah berbelanja mengikut kemampuan, bukanlah mengikut keinginan.\nAmalan gaya hidup yang ingin menunjukkan kemewahan dan kemegahan mempunyai barangan seperti kebanyakan orang lain merupakan punca seseorang itu berhutang. Kehidupan penghutang yang sentiasa berseronok dan menunjukkan kemewahan di media sosial dengan berbelanja pada perkara yang mahal, secara tidak langsung akan meningkatkan ketidakpuasan hati pemiutang. Namun begitu, apabila mengenangkan kembali hubungan baik yang terjalin, pemiutang memilih untuk terus bersabar dan kekal berharap agar hutang tersebut berjaya dilunaskan dengan segera.\nMenerusi akhbar Mstar, pada tahun 2019 tular sebuah cerita melibatkan seorang gadis terperangkap dalam jerat pemuda bermulut manis sehingga meminjamkan wang sebanyak RM500. Bertambah malang nasib gadis tersebut apabila pemuda itu tidak mengaku bahawa dia memimjam wang daripada gadis tersebut. Menurut pemuda itu, tiada hitam putih yang menyatakan dia meminjam wang tersebut, sebaliknya hanya meminjam wang sebanyak RM100 sahaja. Dapat dilihat bahawa pentingnya perjanjian secara bertulis berkaitan dengan hutang meskipun bukti tersebut disimpan di dalam ruang sembang aplikasi WhatsApp.\nPemuda itu mengugut untuk merogol gadis tersebut kerana kerap mengingatkannya untuk membayar hutang. Situasi mengemis wang sendiri daripada pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pemiutang bertindak membuat laporan polis atas tindakan mengugut penghutang. Kebiasaannya, laporan yang dibuat oleh mangsa adalah untuk melindungi keselamatan dirinya supaya ancaman tersebut tidak berubah menjadi realiti dan situasi tersebut amat menggerunkan.\nGadis tersebut turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan pujuk rayu dan janji manis yang diluahkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab seperti pemuda tersebut. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, habis madu sepah dibuang, iaitu sebelum mendapatkan wang tersebut, segala janji ditaburi, tetapi apabila tiba masa untuk membuat pembayaran, perangai yang tidak bertamadun ditunjukkannya.\nPada zaman yang serba canggih ini, sebarang perbualan sama ada secara bertulis atau lisan boleh direkodkan dan disimpan dengan mudah. Dalam hal berhutang, bukti tersebut perlu disimpan dengan rapi supaya mudah untuk bertindak sekiranya penghutang culas untuk membayar hutang. Walau bagaimanapun, pemiutang perlu melalui medium yang betul untuk menuntut haknya supaya tidak menggunakan cara yang salah dan keji.\nIsu yang sama berulang lagi pada tahun 2022 melalui akhbar\u00a0 yang sama, iaitu Mstar apabila seorang wanita meminjamkan wang sebanyak RM350 kepada sahabat karibnya, namun hubungan mereka terputus di tengah jalan, kerana isu hutang tersebut. Hal ini jelas menunjukkan bahawa, hampir kebanyakan situasi berkaitan dengan hutang ini berlaku kepada individu yang mereka percaya dan akrab kerana menganggap bahawa mudah bagi mereka mendapatkan kembali wang tersebut.\nMenurut Riwayat Abu Daud, al-Baihaqi dan al-Tabarani, terdapat suatu doa yang telah diajar oleh Rasullullah berkaitan dengan hutang, iaitu \u201cYa Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada keluh kesah dan dukacita. Aku berlindung dengan-Mu daripada lemah dan malas. Aku berlindung dengan-Mu daripada penakut dan kebakhilan. Aku berlindung dengan-Mu daripada dikalahkan hutang dan dikuasai oleh lelaki.\u201d\nDalam Islam, hukum memberi hutang adalah harus bagi menunjukkan sikap tolong-menolong sebagai satu budaya yang baik dan perlu tumbuh dalam diri setiap individu yang bergelar mukmin. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: \u201cSeorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain, tidak boleh menganiaya atau membiarkan (Muslim itu) dianiaya. Dan sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan memenuhi hajatnya. Dan sesiapa yang membebaskan kesusahan seorang Muslim, maka Allah akan membebaskan kesusahannya di hari Kiamat.\u201c.\nAl-Quran dan hadis telah memberikan gambaran yang amat dahsyat kepada penghutang yang tidak berusaha, sengaja berdalih dan lewat untuk membayar hutang mereka. Pada awalnya, pemiutang percaya bahawa penghutang akan memenuhi kewajipannya untuk menyelesaikan hutang terlebih dahulu apabila mereka mempunyai wang yang cukup. Kerana kepercayaan yang tinggi, segala janji manis yang dilontarkan untuk membayar semula wang yang dipinjamkan diterima begitu sahaja.\nSeperti mana sikap kita bersungguh-sungguh sewaktu meminjam wang, seperti itu jugalah kita perlu bersungguh-sungguh sewaktu membayarnya kembali, walaupun dengan membayarnya sedikit demi sedikit pada setiap bulan, pemiutang akan berasa lega dan menyedari kesungguhan penghutang dalam melaksanakan tanggungjawabnya." "Fenomena Gelombang Haba di Negara ASEAN\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nFenomena gelombang haba yang melanda beberapa buah bandar utama di Asia sejak kebelakangan ini memberikan kesan dari pelbagai aspek seperti ekonomi, sosial dan politik. Fenomena ini merupakan kejadian biasa yang berlaku saban tahun disebabkan oleh perubahan iklim bumi.\nSaintis dan ahli klimatologi yang mengkaji perubahan kebolehubahan dan kesan iklim ke atas biosfera bumi menjangkakan ini hanyalah sekadar permulaan kepada sebuah tempoh kemarau yang panjang. Mereka juga menjangkakan bahawa keadaan sedia ada akan bertambah buruk disebabkan oleh fenomena El Nino yang berkemungkinan turut sama melanda dalam tahun ini.\nSuhu di Bandar Utama di Asia\nDapat kita lihat bahawa bandar utama seperti Riyadh (Arab Saudi), Mumbai (India), Dhaka (Bangladesh) dan Don Muang (Thailand) mengalami suhu yang agak ekstrem iaitu sekitar 40\u00b0C dan dan ke atas. Manakala bandar lain seperti New Delhi (India), Colombo (Sri Lanka), Singapura, Kuala Lumpur (Malaysia), Manila (Filipina), Hong Kong, Shanghai, Beijing dan Urumqi (China) mempunyai suhu sekitar 35\u00b0C hingga 30\u00b0C. Kawasan seperti di Timur Bengal, India, suhu yang direkodkan mencapai lebih 40\u00b0C dan di Sukoharja, Jawa, Indonesia, 33\u00b0C, menyebabkan penduduk sekitar di kedua-dua kawasan tersebut dikatakan mampu menggoreng telur dadar disebabkan oleh kepanasan yang melampau.\n\u00a0Kesan Fenomena Gelombang Haba \n\u00a0Bagi negara yang bergantung kepada penghasilan sumber tanaman sebagai salah satu komoditi eksport mereka, contohnya India dan beberapa negara Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) yang lain seperti Thailand, fenomena peningkatan suhu ini menganggu proses tuaian tanaman kerana kepanasan yang melampau di samping penggunaan air yang lebih banyak dari biasa untuk mengelakkan tanaman mati.\nBagi pemandu teksi, mereka tidak dapat menjalankan aktiviti seperti biasa kerana bahang yang melampau seperti di India dan Myanmar. Aktiviti mereka terpaksa dihentikan buat seketika kerana kepanasan haba yang lebih tinggi dari kebiasaan. Bagi mereka yang berada dalam sektor pembinaan, mereka juga tidak boleh berada terlalu lama di luar dan terpaksa berhenti apabila bahang semakin dirasai kerana dikhuatiri terkena strok haba. Di beberapa buah negara lain, contohnya di Thailand, penduduk memilih untuk berada di kawasan pusat beli-belah semasa panas terik bagi mengurangkan kepanasan yang dialami.\nTidak semua orang bernasib baik. Bagi mereka yang tinggal di bandar besar yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti di India, iaitu di Mumbai, New Delhi dan Dhaka, mereka terpaksa mengharungi kepanasan yang melampau ini semasa menjalani ibadah puasa. Selain itu, mereka juga menghadapi kesukaran untuk tidur pada waktu malam kerana kepanasan. Stesen jana kuasa elektrik akan beroperasi melebihi keupayaan kerana peningkatan permintaan untuk penggunaan tenaga. Apabila tempoh penggunaan yang lebih panjang dicatatkan, terdapat kemungkinan untuk pemotongan bekalan kuasa elektrik, sekali gus memberikan kesan kepada negara mempunyai ramai penduduk yang miskin seperti Bangladesh.\nDi Thailand, kos penggunaan elektrik semakin meningkat. Penyaman udara dan kipas digunakan secara berterusan untuk menyejukkan diri terutamanya pada waktu tengah hari iaitu ketika kemuncak bahang matahari. Di Manila, Filipina, tujuh orang pelajar pengsan akibat peningkatan suhu hingga 37\u00b0C yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik. Maka, terdapat perbincangan kemungkinan sesi persekolahan akan dijalankan secara dalam talian untuk mengurangkan risiko pelajar mengalami kejadian yang sama. Kerajaan Malaysia juga sedang dalam meneliti tatacara pelaksanaan sesi persekolahan yang terbaik disebabkan oleh fenomena gelombang haba ini.\nKesimpulan \u00a0\nFenomena gelombang haba ini memecahkan rekod suhu tertinggi yang pernah direkodkan oleh beberapa negara seperti Vietnam, Thailand, China, India dan Bangladesh. Sungguhpun begitu, negara ASEAN yang lain juga turut menerima tempias akibat kejadian ini termasuklah Malaysia (terutamanya negeri di utara dan di pantai timur, berhampiran dengan Thailand). Keadaan ini akan dijangka berterusan hingga bulan Ogos disebabkan musim peralihan monsun. Walaupun tidak menerima impak secara langsung seperti negara lain namun penduduk setempat perlu mengambil langkah pencegahan dan keselamatan serta lebih berhati-hati agar golongan rentan seperti kanak-kanak tidak menjadi korban berpunca daripada fenomena strok haba ini.\n\u00a0\n*Penulis merupakan penyelidik di Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, dan Institut Pengajian Termaju (IAS), Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur." "Sebanyak 150 Peserta MFLS Berpeluang Mengetahui Sistem Pemerintahan Beraja\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u2013 Sebanyak 150 orang peserta Malaysia Future Leaders School (MFLS) Tier 3 Tahun 2023 berpeluang memahami kepentingan Sistem Pemerintahan Beraja dan mendapat motivasi daripada DYMM Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizzuddin Putra Jamalullail dalam Program Titipan Titian Kasih yang berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras, semalam.\nTitah Tuanku Pemangku Raja,\nPeserta MFLS Tier 3 merupakan aset berharga yang telah di asah bakat dan didedahkan dengan pelbagai aktiviti dan program untuk mengembangkan potensi sebenar mereka.\nMenurut baginda, program ini merupakan modul program di bawah elemen kenegaraan,\u00a0iaitu Institusi Beraja.\nProgram ini perlu dilakukan bagi mendekatkan rakyat, khususnya golongan belia dengan Institusi Beraja, selain memahami realiti dan fakta tentang kepentingan sistem pemerintahan beraja atau sistem kesultanan.\u201d\n\u201cMalahan program ini turut membentuk legasi kepimpinan negara pada masa hadapan bagi melahirkan generasi yang mempunyai mentaliti kelas pertama.\nDemikianlah titah baginda dalam Majlis Titipan Titian Kasih Bersama Tuanku Pemangku Raja Perlis dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil anjuran Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), yakni merupakan tahun kedua disempurnakan oleh baginda berdua.\nKeberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pengarah i-LEAD, Mohd Haswandi Ahmad, Presiden Majlis Perwakilan MFLS, Muhamad Fahim Mohd Farid dan Timbalan Presidennya, Putry Balqees Aqasyah Mohd Fadhly.\nTurut hadir bersama dalam program dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, Ketua Setiausaha KBS, Nagulendran Kangayatkarasu dan Pengurusan Tertinggi KBS.\nMengulas lanjut, program ini sedang berlangsung secara bersemuka bermula pada\u00a05 hingga 19 Mei 2023.\nAntara objektif utama program MFLS Tier 3, termasuklah mengutamakan tujuh elemen penting, iaitu kepimpinan, pembentukan watak dan jati diri, kenegaraan, keusahawanan, kesukarelawanan, komunikasi dan pengantarabangsaan.\nSelain itu, terdapat pengisian lain seperti Bicara Tamu, Komunikasi Berimpak Tinggi, Bicara Ikon, Bicara Kenegaraan, Karnival Sukan, Kesukarelawanan, Outreach Agensi, Lawatan Parlimen dan ASEAN Cultural Heritage.\nMenurut penganjur, mereka dipilih melalui proses saringan dan sesi temu\u00a0duga yang telah dilaksanakan di seluruh negara pada 17 hingga 21 Mac 2023 lalu.\nPeserta MFLS Tier 3 dipilih berdasarkan 150 orang yang terdiri dalam kalangan peserta terbaik daripada program MFLS Tier 2 pada tahun 2020, 2021 dan 2022." "Pemangku Raja Perlis Berkenan Merasmikan PPDK AnIPs\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Merealisasikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu melalui Bazar Ilmu DBP 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBazar Ilmu Dewan Bahasa dan Pustaka 2023 berjaya dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) pada 8 dan 9 Mei 2023 di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Telupid serta 10 dan 11 Mei 2023 di SK Pekan Beluran untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memasyarakatkan sastera di kawasan pedalaman Sabah.\nProgram jualan berpusat anjuran Unit Pemasaran dan Pengedaran, DBPCS dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Telupid/Tongod dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beluran adalah bertujuan untuk memperkenalkan produk terbitan DBP kepada seluruh masyarakat, khususnya warga Telupid dan Beluran.\nProgram yang julung-julung kali diadakan ini merupakan satu daripada usaha DBPCS dalam merealisasikan Pelan Strategik DBP, iaitu mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.\nAntara pertandingan yang diadakan, termasuklah Pertandingan Sayembara Deklamasi Sajak serta Pertandingan Aku, Dia dan Lagu yang menyasarkan pelajar sekolah menengah di daerah Telupid dan Beluran.\nSelain itu, Pertandingan Mewarna dilaksanakan untuk mencungkil bakat pelajar sekolah rendah dalam bidang seni, sekali gus menarik ramai lagi pengunjung ke program Bazar Ilmu DBP 2023. Kegiatan bahasa seperti Majalah Dalam Kelas (MDK), Bersahabat dengan Kamus (BdK), Jaguh Jawi dan Peraduan Teka Harga dan Berat Buku turut dijalankan bagi memeriahkan lagi program ini.\n\u201cFaktor sosial, geografi serta ekonomi tidak seharusnya dilihat sebagai alasan yang menjadi penghalang untuk kita mendapat akses kepada bahan rujukan yang baharu,\u201d kata Timbalan Sektor Perancangan PPD Telupid/Tongod, Encik Jamain Bakut semasa ucapan aluan pada 9 Mei lalu.\nMajlis Perasmian Penutupan Bazar Ilmu DBP 2023 di SK Pekan Telupid disempurnakan oleh Timbalan Pengarah 1, DBPCS, Encik Rusdi Awang. Turut hadir dalam majlis ialah Encik Jamain Bakut dan Guru Besar SK Pekan Telupid, Encik Dominic Nara.\nDalam perkembangan lain semasa majlis perasmian penutup semalam, Encik Rusdi berkata, \u201cKami merupakan badan yang menggalas tanggungjawab untuk memastikan seluruh lapisan masyarakat Sabah termasuk yang berada di kawasan luar bandar mendapat akses kepada bahan terbitan DBP melalui jualan berpusat seperti program Bazar Ilmu DBP ini.\u201d\nTurut hadir menzahirkan sokongan ialah Tuan Haji Berry T Marcus, Penolong Pegawai Pelajaran, PPD Beluran dan Tuan Sharif Syafawe Sharif Yunus.\nMajlis Penutupan yang diadakan di Telupid dan Beluran diakhiri dengan penyerahan Wakaf Buku oleh Encik Rusdi sebagai simbol usaha merealisasikan negara sebagai negara membaca dan melahirkan masyarakat berilmu bertaraf dunia. Tiga buah sekolah yang terlibat di daerah Telupid ialah SK Telupid, SK Pekan Telupid dan SMK Telupid, manakala SK Pekan Beluran, SK Kolapis dan SMK Beluran di daerah Beluran." "Memahami Iklim Ekonomi Global\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMengapakah manusia masih enggan menerima kenyataan di hadapan mata tetapi terus\u00a0 berpegang pada keyakinan yang sedia ada? Perhatikan dua contoh yang berikut:\nDua contoh di atas menerangkan bahawa kepercayaan manusia tidak semestinya ditentukan oleh fakta dan data yang ada tetapi lebih disandarkan kepada norma yang telah ditanamkan ke dalam diri mereka. Perkara ini terjadi disebabkan adanya kesan aktiviti yang disebut keusahawanan norma (norm entrepreneurship). Individu atau institusi menggunakan sentimen untuk berhujah bagi meyakinkan kumpulan tertentu tidak menggunakan fakta secara rasional tetapi dipengaruhi oleh sentimen emosi bagi mewujudkan fakta sosial.\nIstilah usahawan norma diperkenalkan oleh Cass Sunstein dalam rencananya bertajuk, \u201cSocial Norms and Social Roles\u201d (1996). Walaupun istilah ini memiliki makna yang neutral, istilah Keusahawanan norma ini lebih banyak digunakan untuk melemahkan ekonomi sesebuah negara. Sebagai contoh, istilah PIIG (khinzir) digunakan bagi merujuk kepada gabungan negara bermasalah iaitu Portugal, Itali, Greece dan Sepanyol. Ireland juga kemudiannya dimasukkan ke dalam gabungan ini,yang dikenali sebagai PIIGS.\nPIIGS merupakan gabungan negara Eropah yang mengalami krisis hutang paling teruk lanjutan\u00a0 daripada krisis kewangan di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2007/2008. Pada tahun 2010, negara berkenaan disatukan di bawah gabungan singkatan PIIGS itu untuk membayangkan bahawa gabungan itu mempunyai dasar ekonomi yang sangat lemah dan bermasalah buruk. Istilah \u201cPIIGS\u201c bertalu-talu diulang oleh media. Maka, kesannya kelima-lima negara berkenaan menerima impak persepsi yang sama oleh negara luar, sedangkan tahap ekonomi setiap negara berkenan berbeza. Persepsi seragam negara luar tentang PIIGS tidak berasaskan analisis ekonomi dan kewangan secara rasional dengan menggunakan data-data rasmi, tetapi lebih dipengaruhi oleh norma yang dibangunkan daripada singkatan PIIGS berkenaan. Keadaan ini menggambarkan bahawa seolah-olah kesemuanya mempunyai risiko yang sama dan akhirnya telah memburukkan lagi krisis ekonomi negara gabungan berkenan dan akhirnya menjejaskan kewangan zon Euro pada ketika itu.\nSebenarnya, banyak lagi istilah yang telah dibuat oleh para pembuat norma ini. Istilah lain juga pernah digunakan sebagaimana dicatat David Balaam dan Bradford Dillman (2018) seperti CIVETS (musang) dan BRICKS (bata) bagi merujuk gabungan ekonomi negara tertentu yang menunjukkan adanya kumpulan lain yang boleh menjejaskan ekonomi dan kewangan Blok pesaing Kapitalis. Apabila metafora tertentu digunakan secara meluas seperti Negara Paksi Kejahatan yang merujuk Iran dan Korea Utara, atau istilah seperti \u00a0PIIGS, CIVETS dan BRICKS di atas, ramai orang mula percaya bahawa terdapat keseragaman masalah, baik yang berkaitan dengan keganasan mahu pun yang berhubung dengan risiko ekonomi \u00a0negara-negara berkenaan.\nIstilah-istilah ini telah dikritik kerana dianggap sebagai muslihat pemasaran untuk membuatkan bukan sahaja pelabur berfikir banyak kali untuk mencuba nasib dalam mana-mana negara gabungan berkenaan, malah pelancong juga menjadi hilang minat untuk berkunjung ke tempat menarik dalam negara berkenaan.\nIkhtisar di atas menunjukkan bahawa manusia itu tidak setakat tidak semestinya bertindak secara rasional, namun perlu membuat keputusan tidak berasaskan kepentingan analisis untung-rugi material dan mudah dibuai dengan sentimen emosi tertentu.\u00a0 Hal ini bererti informasi yang diajarkan di menara gading bahawa sistem ekonomi seperti liberal dan merkantilis bertunjangkan keyakinan semua aktor membuat keputusan secara rasional berdasarkan semua data-data yang terkumpul untuk memajukan kepentingan material \u00a0masing-masing adalah tidak semestinya tepat. Hal ini demikian kerana norma tersebut, iaitu aktor seperti identiti, ideologi, kepercayaan agama dan\u00a0 budaya itu\u00a0 boleh digelorakan apinya sehingga keputusan \u00a0itu dilakukan atas norma berkenaan. Sebenarnya, bukan sentimen emosi sahaja mempengaruhi keputusan untung-rugi ekonomi,bahkan angkubah kekuasaan dan status sosial negara juga merupakan fakta yang menentukan percaturan ekonomi global itu.\nWalaupun manusia memang boleh berfikir secara rasional, namun begitu, kebiasaannya apabila bertindak manusia berubah menjadi tidak rasional, lebih mengikut emosi suka atau benci, bukannya berasaskan ketepatan fakta, maklumat dan data. Sebenarnya, bukan pemimpin negara sahaja bertindak mengikut sentimen ideologi negaranya, para cendekiawan yang menasihati pemimpin negara juga mengemukakan pandangan berdasarkan kecenderungan pendirian sendiri dan bias teori tertentu yang berbeza-beza sesama mereka. Elit dalam masyarakat merupakan golongan yang berperanan menanam norma atau melakukan aktiviti keusahawanan norma ini, iaitu melibatkan peranan Epistemic Community dan dianggap sebagai contoh penting yang menggambarkan fungsi keusahawanan norma ini.\nHal ini tidak bermakna keusahawanan norma hanya melakukan aktiviti yang negatif semata-mata. Sebagai contoh,isu bukan ketenteraan seperti pemanasan global telah diberi tafsiran sebagai isu ancaman keselamatan sejagat bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dunia terhadap bahaya yang sedang berlaku. Isu kemuflisan penghutang tidak dituding ke arah peminjam sahaja, tetapi diberi tafsiran sebagai berpunca dari sikap pihak institusi kewangan yang mudah memberi pinjaman, bukannya daripada penghutang itu sendiri.\nErtinya, dalam hal ini, masyarakat dunia termasuklah masyarakat Malaysia sentiasa boleh mendatangkan idea dan norma baharu bagi menggantikan paradigma lama. Dengan ideanya individu atau institusi keusahawanan norma ini, isu-isu baharu lebih mudah dikenal pasti dan diketengahkan kepada pihak yang bertanggungjawab. Pada tahun 2010, Rawi Abdelal, Mark Blyth dan Craig Parsons menghasilkan karya berjudul, Constructing the International Economy dengan pakar ekonomi politik digesa untuk memanfaatkan pendekatan konstruktif bagi menjelaskan fenomena ekonomi pada masa kini.\nPendekatan ini menerangkan bahawa idea dan norma sentiasa berubah dari semasa ke semasa\u00a0 sehingga warna yang dahulunya hitam boleh difahami sebagai putih dan sebaliknya. Keusahawanan norma berkembang disebabkan oleh adanya kesedaran bahawa idea, norma dan identiti kumpulan dan negara dibina berdasarkan sentimen sosial, tidak semestinya berdasarkan fakta rasional. Hal ini tidak bermakna\u00a0 fakta rasional itu tidak penting tetapi idea dan norma juga merupakan kuasa penggerak masyarakat yang sama pentingnya dengan faktor-faktor lain.\nJika diperhatikan, konflik dan kerjasama antara negara yang berlaku saban hari tidak diputuskan berdasarkan teori pilihan rasional semata-mata, namun terbentuk hasil daripada norma-norma yang dibangunkan itu. Kesemua ini memberikan indikasi tentang peri pentingnya untuk memahami keusahawanan norma bagi memahami iklim ekonomi global masa kini.\nProfesor Dr. Makmor Tumin, Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya." "Raja Puan Muda Perlis Memuji Pengarah Akademik Islam UM Pertahankan Hak Asasi Wanita dan Kanak-kanak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pengarah Akademik Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Profesor Datin Dr. Raihanah Haji Abdullah atas sumbangan beliau dalam mempertahankan hak asasi wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya.\nTuanku Raja Puan Muda Perlis bertitah bahawa Profesor Datin Dr. Raihanah merupakan seorang ahli akademik yang dihormati. Beliau memulakan kerjayanya sebagai pensyarah di Akademi Pengajian Islam UM walaupun bercita-cita pada awalnya untuk menjadi seorang peguam syariah.\nMenurut baginda, kepakaran beliau adalah dalam bidang yang melibatkan hak asasi wanita, isu berkaitan dengan keganasan terhadap wanita dan hak asasi manusia kumpulan masyarakat terpinggir seperti warga tua, kanak-kanak dan orang kurang upaya.\n\u201cTahniah dan syabas atas segala pencapaian Dr. Raihanah sama ada di dalam mahupun di luar bidang akademik,\u201d titah baginda semasa menghadiri Majlis Syarahan Perdana yang berlangsung di Auditorium Mohd Asri Muda, Akademi Pengajian Islam, UM, hari ini.\nKeberangkatan tiba baginda disambut oleh Dekan Akademi Pengajian Islam UM, Dr. Mohd Fauzi Hamat dan Profesor Kehormat, Akademi Pengajian Islam, Dr. Ahmad Hidayat Buang.\nMajlis Syarahan Perdana tersebut diadakan adalah bersempena meraikan syarahan perdana Profesor Dr. Raihanah yang bertajuk \u201cIndelible Scars on an Injured Soul: An Appraisal of Islamic Cultural and Legislative Issues Related to Violence Against Women and Girls\u201d.\nBaginda turut bertitah bahawa atas prestasi akademik yang cemerlang, Profesor Datin Dr. Raihanah telah dinaikkan pangkat menjadi Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam di UM selepas menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah. Kemudiannya, beliau dinaikkan pangkat sebagai Profesor pada tahun 2015, yakni menjadikan beliau sebagai pensyarah wanita pertama di Akademi Pengajian Islam UM.\nTambah baginda, \u201cSejak beberapa tahun kebelakangan ini, Dr. Raihanah juga sering diundang muncul di program televisyen tempatan untuk berkongsi mengenai perkara berkaitan dengan hak wanita dalam perspektif Islam.\u201d\n\u201cHal ini lebih ketara apabila pelibatannya dalam program dan aktiviti jangkauan ini bertindak sebagai pembuka mata yang membolehkannya melihat sendiri keadaan dalam masyarakat, khususnya wanita dan kanak-kanak.\u201d" "Guru Pemangkin Generasi MADANI\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAyer Keroh \u2013 Bersempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-52 pada tahun ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan sebuah forum pendidikan yang bertajuk \u201cGuru Insani, Pemangkin Generasi MADANI\u201c bertempat di Dewan A, MITC Melaka, pada pagi ini.\nForum pendidikan tersebut menampilkan barisan ahli panel yang berpengalaman dalam bidang pendidikan, iaitu mantan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM, YH Dato\u2019 Haji Mazlan Mohamad; Ketua Kajian dan Inovasi, Kolej Vokasional Keningau, Sabah, Dr. Mohd Sirhajwan Idek dan Pegawai Pendidikan Daerah Baram, Sarawak, Encik Matthew Laing Ngan, selain turut menampilkan Munsyi Dewan yang juga merupakan Pegawai Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+), PPD Petaling Utama, Selangor, Encik Alex Leong Jun Wei.\nMengupas tentang tema sambutan hari guru pada tahun ini, YH Dato\u2019 Haji Mazlan Mohamad berkata bahawa masyarakat umum harus mengetahui dan tidak berasa keliru tentang tema yang diketengahkan pada setiap tahun. Hal ini demikian kerana KPM tidak mengubah dasar dan matlamatnya, namun KPM sentiasa membugar falsafah pendidikan negara.\nTambahnya,\nKita harus melihat tentang peranan guru dalam usaha memahami hasrat dan aspirasi negara dalam melahirkan masyarakat Madani. Hal ini seiring dengan peranan sektor pendidikan yang berkait rapat dengan perubahan yang berlaku dalam negara, iaitu melahirkan masyarakat Madani yang akan menganggotai masyarakat yang beradab, selain maju dalam pemikiran.\nBeliau turut berkata,\nDalam latihan perguruan, setiap guru sudah diketengahkan dengan amalan nilai profesional keguruan yang dapat membantu guru untuk memahami setiap pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan. Namun sebagai guru insani, kita harus mengembangkan aspek kecerdasan emosi dalam kalangan guru bagi menangani isu pendidikan yang berlaku pada masa ini.\n\u201cSebagai pendidik, guru harus bijak menguruskan emosi mereka dengan baik dan memahami kehendak masyarakat. Oleh itu, aspirasi KPM untuk melahirkan guru insani dapat direalisasikan yang bukan sahaja memahami emosi murid, bahkan turut memahami emosi masyarakat,\u201d ujar beliau.\nPada masa yang sama, peranan guru bukan sahaja hanya tertumpu dalam bilik darjah sahaja, bahkan guru turut diperlukan dalam masyarakat seperti isu ekonomi, alam sekitar dan sosial. Menurut Dr. Mohd Sirhajwan Idek, selain peranan guru dalam komuniti setempat, guru juga harus peka dengan isu masyarakat di seluruh dunia seperti di Nigeria dan Somalia.\n\u201cPelibatan guru sebagai warganegara global (global citizen) adalah dapat melahirkan guru yang bertanggungjawab menyelesaikan isu yang dialami oleh masyarakat. Pendekatan tersebut penting bagi melahirkan murid bersedia dengan dunia sebenar,\u201d ulas beliau.\nBeliau turut berkongsi,\nSebagai guru Bahasa Inggeris dan juga Ketua Kajian dan Inovasi, saya menjadikan kemudahan teknologi seperti Google Meet untuk menjemput guru dari luar negara seperti Jerman, Nigeria dan Jepun bagi memberikan pendedahan dunia luar kepada guru dan murid. Usaha tersebut secara tidak langsung dapat membantu guru dan murid memahami tentang isu yang berlaku di luar negara.\nSelain memperlihatkan usaha KPM dalam melahirkan guru insani dan inovatif, aspek kebajikan guru juga harus diutamakan. Hal tersebut turut dikongsikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Baram, Sarawak, Encik Matthew Laing Ngan tentang situasi pendidikan di daerah beliau yang dikatakan sebagai sebuah daerah yang rencam.\nMenurut Encik Matthew Laing Ngan, perubahan sikap yang berlaku dalam kalangan warga pendidik mahupun murid harus diterjemahkan. Oleh itu, sebagai usaha untuk mentransformasikan daerah yang sangat rencam seperti Baram, perubahan sikap harus dilakukan bagi memberikan keselesaan kepada guru agar dapat mengurangkan kerisauan dan tekanan dalam kalangan guru, terutamanya guru baharu.\nBerdasarkan aspek yang diketengahkan oleh barisan ahli panel dalam forum pada pagi ini, maka aspirasi KPM untuk menjadikan guru insani yang mampu melahirkan masyarakat Madani dapat direalisasikan.\nTurut hadir dalam \u201cForum Pendidikan: Guru Insani, Pemangkin Generasi MADANI\u201c ialah Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato\u2019 Hj. Pkharuddin Haji Ghazali, warga KPM, guru dan murid.\nSambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-52 yang bermula pada hari ini hingga 16 Mei turut menyediakan pelbagai program pendidikan yang menarik buat warga pendidik sebagai usaha menghargai jasa dan pengorbanan mereka.\nSumber foto: Adib DBP" "Sebanyak 44 Peserta Menyertai Kejohanan Golf OROKU 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPengarah Syarikat OROKU Tech Solutions Sdn. Bhd, Datuk Jamil Baharom berkata, \u201cUsaha dilakukan ini bagi menarik minat anak muda untuk menyertai sukan golf, selain mengeratkan hubungan dan menerapkan semangat kesukanan dalam kalangan staf syarikat dan pelanggan.\u201c\nSelain menampilkan pemain muda, seorang warga emas, Mohd Jaferi Mohd Sani (60 tahun) berkata, \u201cSelagi berdaya, dia akan bermain golf dengan\u00a0 bersemangat untuk mendapat beberapa hadiah menarik yang disediakan oleh pihak penganjur OROKU.\u201c" "DBP Ingatkan Pengguna Korpus DBP untuk Serahkan Salinan Penyelidikan yang Diterbitkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBANGI \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Encik Fadzli Tajuid mengingatkan pengguna Korpus DBP supaya menyerahkan salinan penyelidikan yang menggunakan data korpus tersebut kepada DBP dengan kadar segera. Peringatan itu diberikan pada Sesi Korpus DBP yang diadakan bersempena dengan Simposium Penyelidikan Korpus Malaysia (SPKM) 2022 pada 29 September 2022 di Hotel Bangi-Resort. Sebanyak empat pihak terlibat dalam penganjuran simposium ini, iaitu DBP, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Malaysian Corpus Research Network, serta Gale Cangage.\nPada sesi tersebut, Encik Fadzli Tajuid menceritakan hal yang berkaitan dengan Korpus DBP. Hal tersebut meliputi asal usul, jumlah pengguna, jumlah data dan fungsi Korpus DBP. Cabaran yang dilalui ketika membina Korpus DBP turut dikongsi untuk menunjukkan bahawa usaha pembinaannya bukanlah suatu tugas mudah yang dapat disiapkan dalam tempoh yang singkat.\nMenurut Encik Fadzli Tajuid, tujuan asal pembinaan Korpus DBP adalah untuk tujuan perkamusan, iaitu menerbitkan kamus. Walaupun Kamus Dewan Edisi Keempat tidak menggunakan sepenuhnya Korpus DBP, penggunaan ayat contoh masih memanfaatkan data korpus malah penyusunan makna bagi entri yang mempunyai pelbagai makna juga dilakukan berdasarkan Korpus DBP. Terkini, penerbitan Kamus Dewan Perdana yang diterbitkan oleh DBP turut memanfaatkan data raya Korpus DBP yang berjumlah 128 juta kata.\nKetika menjawab soalan peserta SPKM 2022 yang bertanyakan kemungkinan DBP untuk berkongsi keseluruhan data Korpus DBP, Encik Fadzli Tajuid menegaskan bahawa terdapat kekangan yang menghalang DBP daripada berbuat demikian. Perkongsian data terpaksa dihadkan kepada baris konkordans, ayat dan perenggan sahaja kerana DBP terikat dengan hak cipta yang dimiliki oleh pemilik karya yang karyanya dimasukkan ke dalam Korpus DBP. Aspek hak cipta ini perlu diberi perhatian yang serius bagi mengelakkan implikasi undang-undang yang boleh diambil terhadap DBP oleh pemilik karya.\nPada sesi yang sama ini, Encik Dinie Asyraf Rodzi, pegawai dari Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, menerangkan tatacara penggunaan Korpus DBP kepada peserta SPKM 2022. Fitur yang terdapat dalam Korpus DBP yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna turut diterangkan. Sebagai contohnya, fitur yang dapat digunakan untuk mencari kolokasi.\nPerkongsian ringkas tentang Korpus DBP ini diharapkan mampu memberikan pencerahan terbaik kepada semua peserta SPKM 2022 yang hadir. Walaupun majoriti peserta terdiri daripada sarjana yang telah biasa menggunakan korpus, terutamanya korpus yang dibina sendiri menerusi perisian yang boleh didapatkan secara percuma atau berbayar, perkhidmatan Korpus DBP semestinya kekal sebagai satu pilihan terbaik kepada sarjana korpus dalam menyingkatkan tempoh penyelidikan ketika melaksanakan kajian masing-masing. Hal ini terbukti apabila pengguna berdaftar Korpus DBP terkini berjumlah sebanyak 8750 pengguna hingga 28 September 2022." "Menggalas Amanah demi Kelangsungan Bangsa Berteraskan Prinsip Malaysia MADANI\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMajlis Pelancaran Karya Agung Sayr al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-10, YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 17 April 2023. Menerusi ucapan perasmian bersempena dengan majlis tersebut, YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim menyampaikan beberapa amanat tentang usaha memperkasakan budaya ilmu, seperti bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang diumumkan sejurus selepas mengetuai tampuk kepimpinan negara.\nYang\u00a0berikut merupakan inti pati ucapan Perdana Menteri Malaysia ke-10, YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim semasa majlis pelancaran karya agung tersebut.\n1.\u00a0 \u00a0 \u00a0YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia, YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Karyawan, YB Senator Datuk Seri Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, sasterawan-sasterawan negara (SN), YBhg. Datuk Seri A. Samad Said, YBhg. Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Haji Abdul Karim, YBhg. Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, Penyimpan Mohor Besar Raja- Raja, Ahli Jawantankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) serta pejuang-pejuang bahasa dan sastera.\n2.\u00a0 \u00a0 \u00a0Saya berterima kasih apabila mendengar ucapan rakan-rakan sebentar tadi, terutamanya YB Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang sudah tentu menggunakan peluang untuk terus memperkasakan bahasa, sastera dan budaya.\n3. Kita terutamanya yang berpendidikan Barat, benar-benar mengenali tentang karya agung atau Great Books. Sebenarnya karya agung itu ialah warisan Barat yang disunting oleh Profesor Ulung Chicago Mortimer J. Yang menariknya, dalam kupasan Adler adalah mengenai \u201cKelemahan besar dalam tamadun Barat kini berlaku kerana terputusnya tradisi ilmu Barat daripada sejarah khazanah warisan Barat itu sendiri\u201d. Dalam kesempatan ini, saya menekankan bahawa jika beliau menganggap diri itu sebagai cendekiawan Barat, sudah biasa dan serasi dengan pemikiran banyak tokoh yang terangkum dalam budaya ilmu Barat yang disebut dalam karya agung. Kemudian, Harold Bloom seorang Sarjana Kanan menulis tentang The Western Canon yang merumuskan semua karya yang dianggap sebagai karya utama di Barat. Beliau menyebut bahawa antara lain paksi daripada seluruh kekuatan budaya ilmu Barat\u00a0itu (The Western Canon) ialah karya- karya William Shakespeare. Bab itu, saya setuju. Akan tetapi, ada nota kaki penting yang disebut, yang saya nukilkan dan masukkan dalam Gelombang Kebangkitan Asia (The\u00a0Asian Renaissance), manakala Harold Bloom menyebut kelemahan dalam budaya ilmu Barat kerana meminggirkan tradisi Islam, dan kefahaman al-Quran. Dia menyebut bahawa, \u201cKegagalan menguasai al-Quran menyebabkan kelemahan ketara dalam kalangan pemikir Barat\u201d.\n4. Semasa saya muda, saya terlibat dan diundang bersama-sama sarjana besar. Pada ketika itu, saya hanya sebagai pelajar. Semasa menjadi Presiden ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia), saya hadir atas inisiatif Profesor A. K. Brohi yang disokong oleh Presiden Pakistan, Zia ul Haq pada ketika itu, dan beberapa perjumpaan pemimpin Islam yang turut dihadiri oleh Profesor Ismail al-Faruqi, Dr. Khurshid Ahmad dan beberapa orang sarjana, Amirullah Siddiqi dan beberapa sarjana besar dalam dunia Islam. Maka,\u00a0saya pada masa itu terpanggil sama untuk menyertainya dan menghadiri mesyuarat itu berulang kali hingga pada tahun 1982 dan tahun 1983, iaitu semasa saya sudah menjadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Oleh itu, apabila saya pulang, saya menyatakan bahawa terdapat kelompangan vakum yang nyata dalam dunia Melayu. Anak-\u00a0anak Melayu, graduan Melayu, siswazah dan cendekiawan tidak diperkenalkan dan dibentangkan dengan\u00a0 khazanah dan budaya bangsa mereka sendiri. Oleh sebab itulah, saya mula menggagas Yayasan Karyawan. Walaupun pada peringkat itu sangat lemah kerana\u00a0tiada sokongan langsung daripada pemerintah, tetapi saudara lihat perkembangan dari semasa ke semasa selepas itu, kita merasakan perlu untuk ditingkatkan. Maka itu, semasa menjadi Menteri Kewangan, saya tambah peruntukan supaya Yayasan Karyawan ini lebih berfungsi.\n5. Selain DBP, Yayasan Karyawan ini tugas khususnya adalah untuk\u00a0meningkatkan usaha, memperkenalkan kepada khalayak tentang karya-karya besar Melayu, walaupun pada ketika itu, saya memfokuskan usaha untuk melahirkan karya-karya agung Melayu yang bertaraf dunia. Namun begitu, kita mula dengan pemerkasaan budaya dengan memantapkan tradisi akliah dan juga tradisi ilmu. Itulah sejarahnya Yayasan Karyawan ini dan saya rasa walaupun ada sejarah yang disebutkan oleh Tan Sri Hamad Kama, tetapi yang paling berjasa dalam penubuhannya tentulah Allahyarham Dato\u2019 Hasan Ahmad, mantan Ketua Pengarah DBP. Tatkala beliau ditugaskan sebagai Ketua Pengarah, beliau ada berhubung langsung dengan saya di Kementerian Kewangan untuk meminta beberapa sarjana besar termasuklah SN Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh\u00a0dalam soal penerbitan karya Hang Tuah, walaupun saya tidak setuju sepenuhnya dengan kata pengantarnya. Namun begitu, hal tersebut menjadi suatu tradisi yang sangat diperlukan bagi negara. Dalam budaya Cina, The Romance of Three Kingdoms, Lao Tzu, karya-karya LunYun, Konfusius, itu dijadikan karya- karya besar walaupun pada masa itu ada usaha dalam \u201cCultural Revolution\u201d untuk memadamkannya, tetapi tetap kembali bersemarak. Sebagai contoh, karya Journey to the West, yang begitu terkenal dalam kalangan sarjana atau intelektual China.\n6. Dalam ucapan yang disebutkan, terdapat beberapa kisah dari The Romance of Three Kingdoms atau Journey to the\u00a0West atau karya LunYun, Konfusius itu, khalayak umumnya mengetahui.\u00a0Namun begitu, dalam soal kebangkitan Melayu atau ketuanan Melayu, dari segi pengisiannya kelihatan hambar. Tokoh-tokoh besar, pejuang-pejuang Melayu hampir tidak pernah membaca Sejarah Melayu ataupun Hikayat\u00a0Hang Tuah, apalagi Sairus Salikin, Tajus Salatin atau Tuhfat al-Nafis hampir tidak dikenali. Oleh hal yang demikian, saya beri tugas besar untuk membangkitkan, membangunkan, memperkasakan bangsa yang harus berteraskan kekuatan bahasa, budaya\u00a0dengan memunggah semula, menggali dan menghebahkan khazanah bangsa sendiri. Dalam hal ini, sudah tentu kita menilainya secara kritis.\nSaudara,\n7. Dalam Gagasan Malaysia MADANI, saya juga melontarkan idea yang sama. Satu kesinambungan daripada\u00a0pandangan saya, \u201cNahdah Asia\u201d ataupun \u201cGelombang Kebangkitan Asia\u201d, iaitu tonggak kekuatan, keutuhan ekonomi itu tidak boleh dipertikaikan sama sekali.\u00a0Sumbangan atau dana yang boleh diserahkan kepada Yayasan Karyawan atau DBP, Institut Terjemahan & Buku Malaysia itu kerana adanya keupayaan ekonomi, tetapi kekuatan ekonomi itu tidak akan menjamin kekuatan bangsa, negara dan tamadun tanpa usaha untuk memperkasakan bahasa, budaya dan keupayaan untuk menggali khazanah. Oleh sebab itu, dalam agenda MADANI ini, soal nilai itu penting. Kita mengupas semula maksud kemapanan itu berbeza daripada kelestarian (sustainability) dalam konteks yang sama. Dalam mengupas tentang inovasi, daya cipta yang tidak terikat kepada pendigitalan, tetapi sekali lagi memintas\u00a0isu nilai dan akhlak. Soal ihsan, soal kemanusiaan, soal karamah insaniah itu lebih jelas dan mampu menjawab pandangan yang terlalu cetek untuk mempertahankan kepentingan kaum sehingga menenggelamkan soal nilai dan kemanusiaan kerana budaya bangsa, dan saya lihat Sairus Salikin itu kupasan tasawuf, berhujah mengenai bahaya kekeliruan pentaasub yang berpegang kukuh kepada pandangan. Walaupun dalam kalangan ahli\u00a0Sufi, masih ada kelompok yang mempertahankan wahdatul-wujud dengan alasan mereka daripada karya-karya besar Ibnu Arabi dan Hamzah Fansuri yang kemudiannya diperkenalkan oleh Profesor Dr.\u00a0Syed Mohamad Naquib al-Atas. Akan tetapi, perbahasan tentang wahdatul wujud, wahdatul syuhud dan bahaya pentafsiran yang agak ekstrem itu terus hidup dan segar dalam dunia Melayu yang secara\u00a0sendirinya meletakkan fahaman yang lebih universal dan para ulama besar pada ketika itu hidup bukan sahaja berakar pada bumi Melayu, namun serasi dengan pemikiran ulama Islam antarabangsa.\n8. Maka itu, kekuatan Abdul Samad Palembangi, seperti mana karya- karya besar yang lain ataupun terjemahan Aqaid An-Nasafi yang lebih awal dikupas. Sudah lama kita tidak berbicara tentang Abdul Samad Palembangi Maka itu, kita perlu\u00a0fahami budaya kita. Baru-baru ini saya telah menulis, kebetulan dalam bahasa Inggeris tentang karya Daud Abdullah al-Fatani. Syeikh Daud Abdullah al- Fatani (1617), beliau menulis tentang Munyatul Musolli dan saya beberapa bulan ketika itu, yakni dalam ucapan saya, saya menghebahkannya kerana hampir semua pondok, pesantren\u00a0di Tanah Melayu, Patani, Indonesia menjadikan karya tersebut sebagai bahan dan buku teks tentang solat wajib dan semua solat sunat.\n9. Namun begitu, yang menarik bagi saya, dalam kupasan Syeikh Daud Abdullah al-Fatani ini, iaitu bab terakhir Tatmim al-Faidah, maknanya penamat yang sangat berfaedah. Apakah maksudnya? Beliau berbicara tentang soal tatanegara, tata kelola dan keadilan. Keadilan bagi umat\u00a0Islam dan keadilan bagi umat manusia. Misalnya, tentang seorang Yahudi yang menemui Khalifah Makmum, merayu kerana haknya dirampas dan Khalifah Makmum yang begitu sibuk tidak sempat melayaninya. Ketika itu, dia berkata, \u201cTanah saya dirampas,\u00a0ya Amirul Mukminin!\u201d Akan tetapi, baginda sibuk akan soal yang lain dan tidak mendengarnya. Kali kedua, baginda tidak juga mendengarnya dan kali ketiga, katanya, \u201cYa Amirul Mukminin, dalam kitab Taurat, saya menekankan hal ini!\u201d dan barulah\u00a0tersentuh perasaan Khalifah Makmum sehingga memberikan jaminan terhadap hak orang Yahudi yang memohon pertimbangan beliau\u00a0dalam hal tersebut. Dalam hal ini, perkara yang ingin saya sebutkan ialah kekuatan ilmuwan silam yang kadangkala diremehkan oleh sarjana\u00a0tempatan tanpa usaha, memahami dan menghadamkan karya-karya besar.\n10. Kitab Munyatul Musolli ialah kitab tentang fadilat solat. Tidakkah aneh kitab mengenai solat dan serba jenis solat sunat ditamatkan dengan kupasan penting tentang tata kelola,\u00a0selain pimpinan yang harus adil, harus menolak kezaliman yang ditulis oleh al-Fatani walaupun seperti juga Abdul\u00a0Samad tatkala berada di Timur Tengah? Oleh sebab itu, dalam majalah Critical Muslim,\u00a0 saya tulis judulnya ialah Justice for a Praying Person maknanya seseorang yang sedang solat, tetapi baginya kaitan solat itu dengan soal keadilan dan soal tatanegara sangat penting. Walaupun tidak semestinya diamalkan begitu, tetapi itulah kekuatan para alim dan ilmuwan Islam yang patut kita hadam semula atau telaah supaya dapat menyampaikan mesej kepada masyarakat dan rakyat tempatan.\n11. Dalam menyempurnakan tugas kita sekarang, saya telah meminta rakan- rakan yang ada dan jemaah menteri keseluruhannya supaya melihat konsep MADANI ini sebagai satu konsep untuk mengangkat martabat dan harakat bangsa dan negara. Tentunya hal ini mengutamakan tonggak ekonomi, namun perlulah berbeza daripada ekonomi yang terlalu asyik dengan pertumbuhan angka dan data. Kita fokuskan ekonomi manusiawi. Jangan kita berbicara tentang soal pertumbuhan sampai mengetepikan soal nasib manusia yang melarat. Rakan-rakan bertanya dari manakah saya dapat idea untuk menekankan soal keadilan dan membebaskan rakyat daripada belenggu kefakiran dan kemiskinan dan agak keras dalam\u00a0menentang penyelewengan dan rasuah? Saya fikir, tentunya daripada kefahaman saya sebagai seorang Muslim dan tentunya tercerap daripada karya-karya agung dunia.\n12. Aspek kemanusiaan sangat tebal dan kuat walaupun ada kontroversinya dalam setiap karya. SN Datuk Seri Samad Said lebih tahu, kerana novel Salina suatu ketika dahulu pun agak kontroversi. Wira Bukit kurang kontroversi, namun Hujan Pagi itu mungkin terdapat sedikit polemiknya. Dalam hal ini, aspek kemanusiaan itu ditekan begitu sekali dengan sangat mengesankan. Bagaimanakah kita\u00a0yang membaca dan menelaah daripada al-Quran kepada hadis hingga kepada karya besar sasterawan besar dan lain- lain, apabila kita diberi amanah untuk mentadbir, mengelola dan memimpin, semua aspek itu dikesampingkan?\u00a0Ada yang menganggap bahawa jawatan Perdana Menteri atau Menteri Kewangan dan menteri-menteri dan penguasa besar itu hanya kesempatan untuk memunggah kekayaan untuk diri, anak-anak dan menantu. Oleh\u00a0sebab itu, saya bertekad untuk berkeras dalam hal ini dengan menghentikan budaya ini, tanpa mengira mana-mana kelompok, parti dan kaum. Negara ini mesti diselamatkan daripada rompakan besar oleh pemimpin-pemimpin negara. Sudah tentu, untuk tugas besar ini kita perlu menghadapi risikonya. Jika\u00a0tidak, apakah maknanya kita membaca\u00a0Sairus Salikin? Apakah maknanya yang memberikan kekuatan tasawuf\u00a0dengan mengenal diri sebagai makhluk terhadap Khaliknya? Apakah makna membaca Iskandar Zulkarnain yang juga dari segi karya Melayu itu yang berteraskan al-Quran? Mesejnya begitu universal. Orang Melayu tidak pernah diajar dan dilatih terutamanya\u00a0daripada karya-karya besar dan mereka terperangkap di bawah tempurung perkauman yang sempit. Semua\u00a0karya tersebut bersifat universal sifatnya. Saya beri beberapa contoh, karya kecil, nipis oleh Syeikh Daud\u00a0Abdullah al-Fatani umpamanya, yang membicarakan soal solat, keadilan yang universal, seperti yang saudara-saudara lihat.\n13. Kita ada tugas yang Pertamanya untuk menggali sumber-sumber\u00a0ini. Terima kasih kepada kawan- kawan yang terus tekun untuk menghasilkan karya-karya ini dan menterjemahkannya. Seterusnya, mempopularkannya dan ini juga merupakan tugas besar. Ini tugas YB Fadhlina Sidek. Maka itu, saya lantik\u00a0beliau sebagai Menteri Pendidikan. Saya bangga dengan anak-anak muda yang berada dalam barisan menteri kabinet.\u00a0Kita tidak mahu Yayasan Karyawan ini hanya berlegar dalam kalangan elit\u00a0yang memenuhi susunan buku mereka di perpustakaan peribadi. Mereka juga tidak pernah membaca karya-karya tersebut. Oleh itu, harus ada program daripada Yayasan Karyawan dan DBP, serta Institut Terjemahan & Buku Malaysia yang harus menggalakkan tradisi kupasan buku ini seperti Sasterawan Negara yang sering\u00a0turun ke lapangan. Saya masih ingat, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah, dalam soal bahasa, beliau sentiasa merencanakan usaha berkaitan dengan bahasa dalam kalangan pelajar, mahasiswa dan graduan dan\u00a0masyarakat. Saya, insya-Allah akan beri apa-apa sahaja sokongan yang perlu, kerana bagi saya, ini soal kelangsungan bangsa. Kelangsungan bangsa ini\u00a0tidak hanya berlaku dengan kekuatan ekonomi, namun dari segi tata kelola, kelangsungan bangsa ini termasuklah dengan mengekalkan satu tradisi baharu, iaitu tradisi sebenar, yang boleh dibanggakan oleh orang Melayu dengan melibatkan pimpinan yang bersih dan bertanggungjawab serta memahami erti pembangunan dan pemerkasaan budaya bangsa dia sendiri.\n14. Untuk menjadi seorang warganegara dan cendekiawan, saya percaya akarnya tentulah melibatkan elemen sastera kebudayaan Melayu, budaya dunia,\u00a0Islam dan budaya lain kerana kita hidup dalam masyarakat kosmopolitan yang harus menunjukkan keupayaan kita dalam memahami budaya dan tamadun yang lain. Dalam Belanjawan\u00a0Malaysia MADANI yang lepas, sebanyak RM20 juta diperuntukkan untuk pengembangan bahasa dan sastera.\u00a0Yayasan Karyawan telah memohon\u00a0sebanyak RM3 juta secara khusus untuk kegiatan tahunan dan saya meluluskannya. Saya juga menyediakan RM2 juta tambahan untuk menerbitkan dan menyebarluaskan karya-karya Sasterawan Negara. Saya berharap agar dana kecil, RM25 juta yang diperuntukkan pada tahun ini sebagai permulaan untuk mengangkat karya DBP dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia ini dapat diselaraskan.\u00a0Hindarilah daripada kerja dalam budaya silo atau bekerja dalam komuniti sendiri. Saya tahu tentang fahaman ini. Oleh itu, kita mohon Menteri Pendidikan untuk membantu menyelaraskan keutamaan DBP, Institut Terjemahan & Buku Malaysia dan Yayasan Karyawan.\n15. Selain itu, saya hanya mohon pandangan, teguran, kritikan saudara- saudara dan juga cadangan-cadangan untuk kita mempertingkatkan\u00a0usaha memartabatkan bahasa dan mengangkat budaya dengan usaha menggali khazanah bangsa itu sendiri.\n16. Sekarang, kita diberi amanah dan tanggungjawab yang Apakah lagi langkah yang perlu untuk memartabatkan bahasa di negara kita? Apakah lagi yang perlu dilakukan untuk memantapkan penguasaan bahasa dalam kalangan pelajar dan rakyat umumnya? Kemudian, apakah lagi yang harus kita lakukan untuk menjadikan selain perkara yang saya\u00a0sebut tentang teknologi digital, ekonomi baharu dan memartabatkan budaya melalui sastera agar mampu menjadi khazanah bangsa? Maka itu, inilah tugas dan usaha yang perlu kita renung, kemukakan pandangan dan saya ambil sikap yang sangat terbuka, iaitu apa- apa sahaja yang baik, yang mampu kita lakukan, insya-Allah saya akan lakukan sebaik-baiknya.\n17. Pada hari ini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan terutamanya mereka yang telah berusaha dan berikhtiar demi menjayakan hasil karya agung Sairus Salikin dan juga Hikayat Iskandar Zulkarnain. Dengan lafaz\u00a0bismillahirrahmanirrahim, saya dengan segala sukacitanya melancarkan dua karya agung Melayu, Sayr al-Salikin dan juga Hikayat Iskandar Zulkarnain.\nDemikianlah inti pati ucapan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim semasa pelancaran Majlis Pelancaran Karya Agung Sayr al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain." "ABC : Medium Merealisasikan Pendidikan Efisien\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMelaka \u2013 \u201cGuru Insani Pemangkin Generasi MADANI\u201d merupakan tema yang dipilih sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke- 52 Tahun 2023 dalam melahirkan para pendidik dan anak bangsa yang bakal menjadi pemangkin masa hadapan negara.\nBertempat di Melaka International Trade Centre (MITC), Melaka, pada 15 Mei 2023, Bicara Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia sendiri, YBhg. Dato\u2019 Haji Pkharuddin Haji Ghazali menekankan tiga prinsip kerja yang menjadi tonggak utama dalam dunia pekerjaan. Kongsi beliau,\nTiga prinsip utama yang saya pegang hingga ke hari ini adalah Kesamaan, Keterbukaan dan Kesyukuran. Tiga perkara inilah yang ingin saya terapkan dalam dunia pendidikan agar guru-guru dapat mempraktikkannya kepada anak bangsa sekali gus, melahirkan generasi yang hebat yang akan meletakkan akhlak mendahului tertib.\n\u00a0\nBuku Anak yang Baik Lagi Cerdik (ABC): Asas Kesejahteraan yang ditulis oleh beliau dan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, YB. Fadhlina Sidek telah menjadi agenda utama di Kementerian Pelajaran Malaysia. Dalam konteks pendidikan, ABC merupakan medium yang tepat bagi merealisasikan pendidikan efisien kepada pelajar. Dato\u2019 Haji Pkharuddin Haji Ghazali berkata,\nWadah utama dalam ABC ini mengutamakan nilai-nilai murni dan penuh pekerti agar pelajar menghargai jasa guru. Pekerti yang baik dalam diri individu secara tidak langsung akan melahirkan generasi yang cerdik dan cerdas.\nMengulas persoalan tentang pandangan beliau terhadap hala tuju pendidikan negara, Beliau menjelasan bahawa,\nDasar dan hala tuju pendidikan negara tidak pernah berubah sejak wujudnya Laporan Razak 1956 tetapi pendekatan yang digunakan mungkin sedikit berbeza. Hala tuju kita sejak dahulu dan kini adalah untuk melahirkan anak bangsa yang sejahtera di dunia dan akhirat.\n\u00a0\nSambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-52 Tahun 2023 ini diharapkan terus memberikan impak yang amat besar terhadap landskap pendidikan negara dalam melahirkan generasi MADANI." "25 Orang Guru Dinobatkan sebagai Guru Inspirasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAyer Keroh, Melaka \u2013 Bersempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2023 yang berlangsung pada 14 \u2013 16 Mei 2023, sebanyak 25 orang guru dinobatkan sebagai guru inspirasi dalam Anugerah Guru Inspirasi McDonald\u2019s 2023 yang berakhir hampir tengah hari tadi.\nMajlis yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Melaka di Dewan A, Melaka International Trade Centre (MITC) ini dirasmikan oleh YB. Puan Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia.\nSelain YB. menteri, majlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato\u2019 Haji Pkharuddin Haji Ghazali, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato\u2019 Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald\u2019s Malaysia, dan YBrs. Hajah Melati Abdul Khai, Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDonald\u2019s Malaysia.\nSemua pemenang akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM5000, sijil dan trofi yang diberikan oleh McDonald\u2019s Malaysia.\nPada anugerah kali ini, McDonald\u2019s Malaysia turut berbesar hati untuk menyumbangkan RM5000 untuk penambahbaikan bilik guru di sekolah guru yang memenangi anugerah ini.\nBagi menghargai pencalon yang gurunya menang pula, McDonald\u2019s Malaysia menghadiahkan baucar McDonald bernilai RM500 dan sijil penghargaan kepada mereka.\nYB. menteri ketika menyampaikan ucapan perasmiannya menyatakan bahawa setiap guru yang mengajar merupakan guru inspirasi kerana guru ini mempunyai nyala rasa yang cukup kuat untuk mendidik anak bangsa.\nMenurut YB. menteri lagi, guru yang menjadi inspirasi pada hari ini mempunyai kekuatan bukan sahaja dalam aspek mengajarkan ilmu, tetapi juga pendukung ekosistem pembinaan karakter pelajar.\nYB. menteri percaya bahawa usaha seperti komitmen McDonald\u2019s ini akan dapat diteruskan dalam ekosistem pendidikan negara untuk bersama-sama memastikan pendidikan negara serta kebajikan guru dan pelajar akan terus dimanfaatkan untuk generasi akan datang.\nDalam ucapan YBhg Dato\u2019 Azmir Jaafar pula, beliau menegaskan tekad McDonald\u2019s Malaysia untuk menjadikan golongan pendidik sebagai salah satu fokus inisiatif bagi program kemasyarakatan yang dijalankan kerana guru memainkan peranan yang cukup besar dalam mendidik anak bangsa yang bakal menerajui pucuk pimpinan negara pada masa hadapan.\nOleh itu, Anugerah Inspirasi Guru McDonald\u2019s yang telah diadakan sejak tahun 2017 sehingga kini merupakan bukti keutamaan McDonald\u2019s untuk menjadikan kesejahteraan rakyat sebagai teras utama syarikat yang secara langsung menggalakkan orang ramai supaya turut menghargai jasa dan pengorbanan guru.\nTambah beliau lagi, sambutan terhadap anugerah ini telah menunjukkan peningkatan yang amat memberangsangkan apabila menerima 16 ribu pencalonan pada tahun 2023 berbanding dengan hanya 1000 pencalonan pada tahun 2017 yang membuktikan Malaysia mempunyai ramai guru yang menyentuh hati rakyat." "Di Sebalik Saranan Memboikot Restoran\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBaru-baru ini, akhbar melaporkan bahawa Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli telah mengkritik pemilik restoran dalam isu inflasi. Beliau menyatakan bahawa walaupun harga bahan mentah makanan telah turun, kebanyakan pengusaha restoran masih enggan menurunkan harga makanan yang dijual. Oleh sebab itu, beliau menggesa pengguna untuk mengajar pemilik restoran yang \u201cdegil\u201d dengan memboikot mana-mana restoran yang tidak menurunkan harga. Dengan cara tersebut beliau berharap pengusaha restoran terbabit terpaksa menurunkan harga dan dengan itu masalah inflasi dalam sektor restoran akan dapat diselesaikan.\nSebenarnya, pendekatan yang diambil oleh beliau untuk menyelesaikan masalah inflasi itu tidak berbeza secara umum daripada kaedah yang disarankan oleh kebanyakan pakar ekonomi, iaitu dengan mengurangkan permintaan agregat. Namun demikian, kaedah yang dilakukan oleh pembuat dasar kewangan di kebanyakan negara untuk tujuan ini adalah lebih berbentuk makro atau meluas dan tidak tertumpu hanya pada sektor restoran. Tindakan yang diambil oleh mereka adalah dengan menaikkan kadar bunga dalam pasaran kewangan. Di Malaysia, hal tersebut telah pun dilakukan, iaitu dengan menaikkan Kadar Dasar Semalaman atau Overnight \u00a0Policy Rate (OPR).\nApabila kadar bunga dinaikkan, maka kos pinjaman akan meningkat, sekali gus dapat mengurangkan permohonan pinjaman daripada industri perbankan. Namun begitu, peminjam sedia ada akan menghadapi bayaran bunga pinjaman yang semakin meningkat. Keadaan ini akan mengurangkan penggunaan dan permintaan agregat dalam sistem ekonomi dan mampu menurunkan kadar inflasi.\nKaedah menggunakan kadar bunga untuk mengawal inflasi berlaku berdasarkan hakikat bahawa industri perbankan adalah pembekal utama dana mata wang dalam sistem ekonomi negara, iaitu melalui pemberian hutang atau pinjaman. Apabila pinjaman berkurangan akibat kenaikan kadar bunga, consumption atau penggunaan akan menurun.\nWalau bagaimanapun, hakikat yang mesti disedari oleh masyarakat ialah penurunan kadar penggunaan akan memberikan kesan negatif kepada banyak syarikat perniagaan serta sektor isi rumah, terutamanya syarikat perniagaan serta isi rumah yang mempunyai beban hutang yang tinggi. Sebagai contoh, sebuah restoran telah dibuka oleh seorang usahawan dengan menggunakan dana yang dipinjam dari bank. Kos yang ditanggung oleh usahawan tersebut bukan sahaja akan melibatkan bayaran pinjaman kepada bank, malah turut melibatkan kos utiliti, kos upah pekerja, kos sewaan dan pelbagai kos lain. Dalam kebanyakan kes, keuntungan dalam sektor restoran adalah sangat kecil kerana berlakunya persaingan yang sangat sengit. Oleh itu, mod operasi mereka adalah berbentuk kelangsungan semata-mata atau sekadar \u201ccukup makan\u201d sahaja, jauh sekali untuk mendapatkan keuntungan yang lumayan. Disebabkan keadaan tersebut, maka banyak restoran enggan menurunkan harga jualan walaupun harga bahan mentah didapati sudah menurun.\nJika jumlah pendapatan sektor restoran menurun, sama ada disebabkan oleh saranan Menteri Ekonomi untuk memboikot mereka, atau akibat daripada keadaan ekonomi yang semakin perlahan akibat kenaikan OPR, maka kemungkinan besar peniaga restoran akan menghadapi masalah kewangan yang meruncing dan gagal membayar pinjaman kepada bank. Disebabkan hal tersebut, pengusaha restoran terpaksa membuang pekerja atau memberhentikan terus operasi mereka. Bayangkan, apakah yang akan berlaku dalam ekonomi jika kes ini melibatkan ribuan restoran? Sudah tentu puluhan ribu orang pekerja dalam sektor ini akan kehilangan pekerjaan.\nRakyat juga perlu sedar bahawa aktiviti perniagaan dalam sesuatu sektor ekonomi\u00a0 berhubung kait antara satu sama lain. Sebagai contoh, sektor perniagaan restoran perlu membeli bahan mentah daripada sektor pertanian, sektor peralatan restoran dan lain-lain. Oleh itu, penguncupan dalam sektor restoran akan memberikan kesan kepada sektor yang lain juga. Lambat laun sektor seperti pembinaan, perhotelan, pengangkutan dan lain-lain juga akan terkesan, terutamanya jika mereka juga terjejas akibat daripada kenaikan kadar OPR.\nSebenarnya keadaan turun dan naik permintaan dalam sistem ekonomi merupakan perkara biasa. Namun begitu, tahap kesan negatif yang dialami itu bergantung pada tahap hutang di negara tersebut. Sebagai contoh, jika kebanyakan\u00a0 pengusaha restoran tidak bergantung pada hutang untuk menjalankan perniagaan, maka kejatuhan jumlah pengunjung tidak akan memberikan kesan yang teruk kepada mereka. Mereka masih boleh bertahan dan terus beroperasi walaupun keuntungan yang diperoleh semakin berkurangan. Jika kebanyakan restoran yang beroperasi di dalam negara bergantung pada hutang untuk meneruskan operasi, maka kejatuhan jumlah pelanggan boleh mengakibatkan berlakunya kemuflisan dan penutupan operasi secara total. Jika keadaan ini turut berlaku dalam sektor ekonomi yang lain, ramai pekerja akan kehilangan pekerjaan mereka. Akhirnya, krisis ekonomi yang teruk akan melanda negara tersebut.\nApabila negara menghadapi krisis ekonomi, kebiasaan yang sering berlaku termasuklah kerajaan akan berbelanja dengan banyak untuk merangsang ekonomi. Sebagai contoh, kerajaan akan memberikan subsidi kepada perniagaan atau memberikan bantuan kewangan secara langsung kepada keluarga yang terdesak. Oleh sebab kerajaan sendiri sudah kehabisan dana, maka sumber dana untuk melakukan rangsangan ekonomi\u00a0 terpaksa diperoleh daripada dana yang dipinjam daripada industri kewangan. Hal ini bermakna hutang kerajaan akan bertambah lagi. Pada masa yang sama, sektor perbankan akan mencipta mata wang baharu untuk dipinjamkan kepada kerajaan. Langkah rangsangan ini akan \u201cmenaikkan semula\u201d tahap penggunaan dalam ekonomi. Isi rumah yang kehabisan duit sebelum ini akan dapat berbelanja untuk membeli makanan sama ada dari pasar raya atau restoran.\nDalam keadaan jumlah keluaran oleh syarikat perniagaan didapati terhad akibat daripada krisis ekonomi dan pada masa yang sama banyak syarikat turut menghentikan operasi, permintaan yang meningkat ini akan mengakibatkan inflasi secara berulang. Kerajaan yang memerintah, sama ada yang baharu atau yang masih kekal berkuasa akan tertekan untuk menyelesaikan masalah inflasi ini.\u00a0 Kemungkinan besar Menteri Ekonomi pada masa itu akan menyarankan sekali lagi agar isi rumah mengurangkan perbelanjaan di restoran untuk memaksa mereka mengurangkan harga. Maka berulanglah lagi kisah yang sama, walaupun kerajaan dan menteri mungkin sudah bertukar.\nSebagai rumusan, kenaikan harga atau inflasi merupakan perkara yang bersifat \u201csemula jadi\u201c dalam ekonomi yang diasaskan melalui sistem hutang. Tahap kesan buruk yang akan berlaku adalah bergantung pada tahap hutang dalam ekonomi negara. Jika tahap hutang adalah tinggi, maka kesan negatifnya sudah pasti lebih buruk berbanding dengan jika tahap hutang adalah rendah. Bahkan krisis ekonomi juga mungkin akan berlaku dan langkah untuk menyelesaikan masalah tersebut juga semakin bertambah rumit. Namun demikian, kitaran yang sama tetap berlaku. Yang lebih menyedihkan ialah golongan yang berpendapatan rendah akan semakin sengsara sementara golongan yang kaya, terutamanya pemilik industri perbankan akan semakin kaya.\nProfesor Dr. Mohd Nazari Ismail, Profesor Kehormat, Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya." "Nilai Integriti Wajar Dipertahankan \u2013 KP DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Penekanan terhadap nilai integriti dan etika bekerja antara tonggak penting dalam sesebuah organisasi bagi membanteras ketirisan seperti isu salah guna kuasa dan rasuah.\nKetua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari berkata, nilai integriti sangat penting, apatah lagi bagi sebuah agensi atau jabatan di bawah kementerian yang memperjuangkan bahasa kebangsaan.\nWarga DBP memerlukan cabaran dan dugaan agar terus unggul dan dapat memberikan khidmat kepada masyarakat dan negara. Sentiasa terbuka dengan teguran dan juga cadangan yang baik, serta sentiasa bersedia memperbaik kelemahan itu jadi semangat antara satu sama lain.\n\u201cDengan terus beristiqamah mengangkat mutu penyampaian perkhidmatan \u2013 membaiki mutu produk, saya yakin kita boleh melonjakkan semula citra DBP yang dipandang sinis oleh orang sekeliling.\nDemikianlah inti pati ucapan beliau dalam Perhimpunan Bulanan DBP dan Ikrar Bebas Rasuah yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada pagi tadi.\nTahun ini, berbaki beberapa bulan sahaja lagi, DBP bakal menginjak usia 67 tahun dan saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan dirgahayu DBP.\nJelas beliau, semua warga DBP hendaklah bersiap siaga agar aktiviti yang dirancang dan disusun dapat dilaksanakan dengan baik dan bukanlah hanya setakat melaksanakannya, seperti melepaskan batuk di tangga.\nSebagai penjawat awam, disiplin serta sikap berkira dalam melaksanakan tugas merentas unit atau bahagian yang menjadi budaya tidak sihat yang harus dihentikan.\n\u201cSituasi tidak sihat ini harus dihentikan sebelum terus menular dan menjejaskan organisasi ini.\nUlas beliau dengan lebih lanjut dalam memastikan DBP terus unggul, malah dapat memberikan khidmat yang bermanfaat kepada masyarakat dan negara." "Guru dari seluruh Malaysia Diiktiraf dalam Majlis Malam Anugerah Hari Guru 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAyer Keroh, Melaka \u2013 Segala jasa dan pengorbanan guru dalam bidang pendidikan diiktiraf malam ini dalam pelbagai kategori anugerah pada Majlis Malam Anugerah Hari Guru 2023 bersempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2023 yang diadakan pada 14 \u2013 16 Mei 2023.\nMajlis yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Melaka ini mendapat kerjasama daripada Kerajaan Negeri Melaka sebagai penyumbang utama, selain mendapat rakan strategik daripada Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO), Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Islam, dan Malaysian Airlines System (MAS).\nAnugerah yang diadakan di Grand Ballroom, Melaka International Trade Centre (MITC) ini dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek, dan Timbalan Menteri Pendidikan, YB Puan Lim Hui Ying.\nSebanyak empat kategori anugerah yang meliputi Anugerah Khas Pendidikan (6 anugerah), Anugerah Guru Inovatif (6 anugerah), Anugerah Guru Berwibawa (7 anugerah) dan Anugerah Guru lkon (9 anugerah) telah dimenangi oleh 28 orang guru terpilih.\nPada malam itu juga, turut disampaikan Anugerah Khas Menteri Pendidikan: Sekolah Citra Madani dan Anugerah #GuruJuaraDigital.\nMenerusi anugerah ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berharap agar dapat memberikan semangat baharu kepada semua warga pendidik untuk lebih berusaha dalam melahirkan lebih ramai ilmuwan yang mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara.\nSemua anugerah ini ditaja oleh BSN selaku satu daripada rakan strategik sambutan Hari Guru pada tahun ini.\nYB Puan Fadhlina Sidek dalam ucapannya memaklumkan bahawa selain anugerah yang dinyatakan ini, pihak KPM akan memberikan satu lagi anugerah khas kepada sebuah sekolah yang telah berjaya menghasilkan sebuah karya yang menggambarkan keprihatinan pendidik dalam membentuk generasi madani.\nMajlis anugerah ini merupakan suatu yang signifikan dalam dunia perguruan dan sebagai pembakar semangat untuk guru lebih mara ke hadapan.\nOleh itu, tidak hairanlah apabila YAB Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam ucapannya menyatakan bahawa peranan dan pengorbanan guru sepanjang mendidik anak bangsa wajar diberi pengiktirafan dan penghormatan.\nTambah YAB Datuk Seri lagi, guru merupakan insan yang diberi amanah dan tanggungjawab untuk melahirkan generasi yang bakal mewarisi kepimpinan untuk negara bergerak ke arah yang lebih maju dan mempertingkatkan pemikiran kerohanian dengan menyemai nilai murni.\nYAB Datuk Seri mengakui bahawa menjadi generasi pendidik pada masa ini sangat mencabar lebih-lebih lagi bidang pendidikan telah banyak berubah selari dengan transformasi dan tuntutan globalisasi.\nDalam majlis ini juga, YAB Datuk Seri mengumumkan bahawa negeri Melaka akan menjadi perintis \u00a0program kajian tokoh dengan memberikan hadiah yang lumayan kepada sekolah yang berjaya membuat kajian tentang nama tokoh yang ada.\nSelain itu, YAB Datuk Seri menerusi kerajaan negeri Melaka akan memperkenalkan Anugerah Seri Melaka kepada anak negeri melaka yang berjaya menjadi tokoh pada peringkat tertinggi berasaskan persekolahan asal mereka.\nSebelum acara diteruskan dengan penyampaian anugerah Hari Guru ini, YAB Datuk Seri berbesar hati untuk menyampaikan cenderamata kepada guru yang pernah mendidiknya dengan penuh tegas di sekolah dahulu sehingga berjaya seperti saat ini." "Selamat Hari Guru, Cikgu!\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSebagaimana yang kita ketahui, tema Hari Guru tahun 2023 ialah \u201cGuru Insani Pemangkin Generasi Madani\u201d. Idea utama tema Hari Guru tahun ini bertujuan membangkitkan semangat dan motivasi guru bagi meningkatkan profesionalisme dalam pengajaran berlandaskan Falsafah Pendidikan Guru (FPG). Tema ini turut menekankan kesediaan guru dalam mendukung hasrat Falsafah Pendidikan Guru (FPG) dengan memfokuskan kepada tiga perkara, iaitu jati diri dan kenegaraan, semangat dan jiwa guru serta ilmu dan kemahiran. Falsafah Pendidikan Guru (FPG) menitikberatkan bahawa pendidikan guru di Malaysia adalah untuk melahirkan guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung warisan negara, menyanjung aspirasi kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu, serta memelihara sebuah masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. Oleh itu, jika diselusuri setiap kata kunci penting dalam FPG tersebut, terdapat atribut yang perlu dimiliki oleh insan yang bergelar guru.\nAkhlak mulia merupakan sikap atau tingkah laku guru yang menjunjung tinggi nilai kebaikan dan kejujuran dalam kehidupan. Berakhlak mulia bermakna seseorang itu mempunyai sikap positif seperti merendah diri, jujur, bertanggungjawab, berdisiplin, sabar, menghormati perbezaan, mengambil berat terhadap orang lain dan sentiasa berusaha memperbaiki diri. Guru yang berakhlak mulia sentiasa menghormati serta mematuhi nilai-nilai moral dan etika dalam kehidupan seharian, sama ada dalam konteks peribadi mahupun sosial. Mereka sentiasa cuba membina hubungan baik dengan orang lain, menghormati antara satu sama lain dan memberi kesan positif kepada keadaan sekeliling. Dalam ekosistem pendidikan, akhlak mulia amat penting untuk dijelmakan kerana selain daripada membentuk sahsiah murid yang baik, perkara ini juga dapat membantu mereka mengembangkan kemahiran sosial dan interpersonal yang baik supaya menjadi individu yang berkualiti dan dapat memberikan sumbangan yang positif kepada masyarakat.\nPandangan progresif dan saintifik merujuk pandangan atau sikap yang cenderung melihat sesuatu perkara dari sudut progresif, iaitu mencari inovasi dan kemajuan berterusan serta sudut saintifik, iaitu menggunakan kaedah dan pengetahuan saintifik berdasarkan fakta dan bukti. Sikap progresif dan saintifik ialah sikap yang mengambil kira faktor-faktor yang berkaitan dengan perkembangan zaman dan ilmu, serta mampu menghadapi perubahan dan cabaran yang sentiasa berkembang dalam kehidupan. Dalam ekosistem pendidikan, sikap progresif dan saintifik sangat penting untuk dimiliki oleh pendidik. Hal ini kerana mereka harus sentiasa berusaha meningkatkan kualiti pembelajaran dan memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada murid. Dengan pandangan yang progresif dan saintifik, para pendidik boleh mengembangkan kreativiti dan inovasi dalam menyediakan persekitaran pembelajaran serta menggunakan kaedah dan teknologi yang sesuai dalam melaksanakan pembelajaran. Selain itu, sikap progresif dan saintifik juga membolehkan warga pendidik terus memajukan diri serta meningkatkan pengetahuan dan kemahiran supaya dapat memberikan impak positif kepada pembangunan pendidikan dan masyarakat amnya.\nMenjunjung warisan negara dan menyanjung aspirasi budaya negara pula merupakan sikap atau tindakan yang menunjukkan rasa hormat, penghargaan dan kesetiaan terhadap nilai, tradisi dan budaya sesebuah negara. Hal ini termasuklah bersedia untuk mengekalkan dan mengembangkan warisan dan tradisi budaya sedia ada, serta menunjukkan rasa bangga dan menghormati aspirasi budaya yang dimiliki oleh masyarakat. Sikap ini penting bagi setiap guru kerana dapat membantu mengukuhkan identiti budaya dan kebangsaan yang menjadi ciri sesebuah negara. Dengan menjunjung warisan negara dan aspirasi budaya negara, individu dapat menunjukkan rasa cinta dan bangga terhadap negaranya serta mampu mengekalkan dan mengembangkan kepelbagaian budaya yang wujud di dalamnya. Dalam ekosistem pendidikan, guru perlu memartabatkan warisan negara dan menyanjung aspirasi budaya negara kerana perkara ini merupakan sikap penting untuk diterapkan oleh murid. Melalui pendidikan, murid dapat mempelajari nilai, tradisi dan budaya yang wujud di tanah air yang tercinta serta belajar menghargai dan menjunjung warisan budaya mereka. Dengan memiliki sikap ini, murid dapat berkembang menjadi individu yang cintakan negara, menghargai dan menghormati kepelbagaian budaya yang wujud di dalamnya, serta dapat menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.\nSeterusnya, perkembangan individu adalah suatu proses di mana seseorang diberikan peluang dan persekitaran yang membolehkannya berkembang secara optimum, baik dari segi fizikal, intelek, emosi dan sosial. Pembangunan individu pula bertujuan membantu individu mencapai potensi secara optimum dan menjadi individu yang berdikari, kreatif dan menyumbang secara positif kepada masyarakat. Dalam ekosistem pendidikan, bagi memastikan perkembangan individu, guru menyediakan pelbagai peluang dan pengalaman yang boleh membantu murid untuk mengembangkan kemahiran dan potensi mereka secara menyeluruh. Proses ini termasuklah mengetahui, memahami, dan mengembangkan diri, baik dari segi fizikal, emosi, sosial dan intelek. Pendidikan yang berkesan seharusnya dapat menjamin perkembangan individu, iaitu dengan menyediakan peluang yang sama dan persekitaran yang kondusif untuk setiap individu berkembang mengikut potensi mereka. Hal ini boleh dilakukan dengan memberi perhatian kepada keperluan dan keunikan setiap murid, menyediakan pelbagai pengalaman pembelajaran, serta mewujudkan persekitaran yang selamat dan bersifat menyokong. Dengan menjamin perkembangan individu, pendidikan dapat membantu setiap murid untuk berkembang menjadi individu yang berdikari, mempunyai kebolehan berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif, serta mempunyai kemahiran sosial dan emosi yang baik. Dalam jangka masa panjang, perkara ini dapat membantu murid mencapai kejayaan dalam hidup dan memberikan sumbangan positif kepada masyarakat. Perkara ini selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang digubal pada tahun 1988 yang bertujuan mengembangkan potensi individu. Potensi merujuk kepada bakat dan kebolehan yang terdapat pada seseorang murid yang dianugerahkan oleh Tuhan. Bakat dan kebolehan ini merangkumi pelbagai aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani yang perlu dicungkil, dikembangkan dan dipertingkatkan. Kesemua potensi yang ada pada individu dikembangkan secara holistik, optimum dan dilaksanakan dengan mengaitkan potensi tersebut antara satu sama lain. Hal ini bertujuan melahirkan insan yang seimbang dengan berpandukan kepada Rukun Negara.\nMengekalkan masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin adalah penting untuk Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Masyarakat yang bersatu padu ialah masyarakat yang mempunyai perpaduan yang tinggi. Hal ini boleh dicapai dengan menegakkan nilai-nilai perpaduan dan integriti, menghormati perbezaan budaya dan agama dan menggalakkan komunikasi yang baik antara rakyat. Masyarakat demokratik pula merujuk masyarakat yang memberi hak dan kebebasan kepada setiap rakyat untuk menyuarakan pendapat, memilih pemimpin, dan terlibat dalam proses membuat keputusan. Perkara ini boleh dicapai dengan melaksanakan sistem demokrasi yang adil dan telus, serta memberikan pendidikan dan kesedaran politik kepada rakyat. Seterusnya, masyarakat progresif ialah masyarakat yang sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti hidup dan kemajuan sosialnya. Perkara ini boleh dicapai dengan membangunkan sumber manusia yang berkualiti, membangunkan teknologi, meningkatkan kualiti infrastruktur dan mewujudkan peluang ekonomi yang baik. Kemudian, masyarakat yang berdisiplin ialah masyarakat yang mempunyai tingkah laku dan tindakan yang teratur, tertib dan patuh kepada peraturan yang ditetapkan. Hal ini boleh dicapai dengan melaksanakan sistem perundangan yang adil dan telus, memperkukuh pembangunan karakter dan memberikan pendidikan kesedaran undang-undang kepada warganegara. Dengan mengekalkan masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin, hal ini diharap dapat mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk membantu masyarakat berkembang secara optimum. Perkara ni juga dapat membantu mewujudkan masyarakat yang makmur, adil dan saksama untuk semua warganya.\nSementara itu, Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan konsep \u201cMalaysia Madani\u201d yang diwujudkan sebagai usaha merangka strategi tadbir urus dan pentadbiran negara secara berkesan serta menekankan pemerkasaan ekonomi dan budaya yang berteraskan nilai, etika atau moral. Salah satu konsep penting dalam konsep masyarakat madani ialah prinsip keseimbangan dan mampan. Prinsip ini menjamin keadilan untuk semua orang tanpa diskriminasi, ketidakadilan atau penindasan. Dalam prinsip keseimbangan, semua rakyat mesti dilayan secara adil dan sama rata. Hal ini bertujuan mewujudkan masyarakat yang seimbang dan mampan serta semua orang dapat hidup dalam kesejahteraan. Gagasan Madani bersifat menyeluruh berdasarkan enam tonggak utamanya, iaitu M (kemampanan), A (kesejahteraan), D (daya cipta), A (hormat), N (keyakinan) dan I (ihsan). Kemampanan merujuk kepada pengekalkan keseimbangan antara manusia dan alam semula jadi yang merupakan faktor penting untuk memajukan kualiti hidup rakyat, dan hal ini mencerminkan keunikan Malaysia. Kesejahteraan bermaksud keharmonian dan keseimbangan dalam kehidupan dan segala aspek yang terkandung dalamnya. Daya cipta pula mempunyai beberapa makna, termasuklah inovasi, kreativiti dan reka bentuk baharu. Hormat membawa maksud maruah manusia. Dalam bahasa lain, hormat juga boleh disebut sebagai adab yang berakar umbi dalam bahasa Arab. Keyakinan mempunyai hubungan yang rapat dengan tanggungjawab, iaitu komitmen moral yang berkaitan dengan dunia dan akhirat. Manakala, ihsan mempunyai maksud yang sama dengan perhatian dan kasih sayang. Madani juga menjadi dasar setiap teras bagi memperkukuh lapan keperluan dalam pembangunan negara dan salah satunya ialah pendidikan.\nSehubungan dengan itu, tema Hari Guru pada tahun ini menunjukkan betapa besarnya peranan guru dengan cara berhikmah menyantuni murid sekolah kerana mereka merupakan generasi madani yang bakal meneruskan keharmonian dan memacu kemajuan negara pada masa akan datang. Guru insani merujuk kepada guru yang sentiasa berusaha untuk memberikan inspirasi dan motivasi kepada murid dalam pembelajaran. Hal ini termasuklah pengajaran dengan cara yang menarik dan mencabar, menyediakan pengalaman pembelajaran yang berbeza, memberikan pujian dan pengiktirafan untuk pencapaian murid dan memotivasikan murid untuk mencapai matlamat akademik dan peribadi mereka. Guru juga berusaha membantu mereka untuk menjadi murid yang berdikari, kreatif dan produktif, serta membina minat dan keyakinan diri dalam diri. Hal ini boleh membantu meningkatkan hasil pembelajaran murid dan menyediakan mereka untuk masa hadapan yang berjaya. Guru insani juga berperanan sebagai fasilitator atau penggerak pembelajaran yang menekankan nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan. Sebagai seorang guru insani, seseorang guru dapat memahami keperluan dan keunikan setiap murid dan memudahkan pembelajaran inklusif dan berpusatkan murid. Mereka menggalakkan murid berkembang secara holistik, iaitu bukan sahaja dari segi pengetahuan akademik, tetapi juga dari segi karakter, kemahiran sosial dan emosi.\nGenerasi madani ialah generasi yang mampu memainkan peranan aktif dalam masyarakat dan negara serta mempunyai nilai moral yang baik seperti toleransi, kejujuran, dan tanggungjawab sosial. Mereka juga mampu membuat keputusan yang bijak dalam persekitaran yang kompleks dan pelbagai budaya serta berkemahiran dan berkebolehan untuk terlibat dalam masyarakat global yang semakin terhubung dan kompleks. Akhirnya, mereka komited untuk memajukan kualiti hidup masyarakat dan alam sekitar.\nCabaran besar menanti generasi madani pada masa kini untuk kemahiran yang diperlukan di alam pekerjaan pada masa akan datang. Menurut \u201cFuture of Jobs Report 2020\u201c daripada World Economic Forum (WEF), kemahiran yang diperlukan untuk masa depan pekerjaan termasuklah kemahiran menganalisis dan penyelesaian masalah yang kompleks, pemikiran kritis dan analitikal, kreativiti, keaslian dan inisiatif, kemahiran komunikasi yang berkesan dan penguasaan teknologi dan data. Di samping itu, laporan tersebut juga menekankan kepentingan kemahiran sosial dan emosi seperti kecerdasan emosi, kerjasama dan penyelarasan dengan orang lain serta ketahanan mental dan fizikal. Kemahiran ini dianggap penting untuk mengekalkan keseimbangan dalam kehidupan profesional dan peribadi serta menggalakkan pembangunan yang mampan.\nNatijahnya, generasi madani yang dilahirkan daripada ekosistem pendidikan di Malaysia merupakan harapan dan matlamat bersama kerana mereka merupakan generasi muda yang lebih responsif dan aktif dalam menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara dan komuniti global pada masa hadapan. Mereka merupakan generasi muda yang berakhlak mulia, bertolak ansur dan mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran global. Generasi madani ini mampu dihasilkan oleh guru insani yang mempunyai sifat empati, keadilan, kesaksamaan dan bertanggungjawab membantu murid memperoleh pengetahuan, kemahiran dan sikap positif untuk membentuk sahsiah yang baik serta berkembang menjadi individu yang bertanggungjawab dan berakhlak mulia, dan seterusnya memberi manfaat sesama manusia, negara dan alam sekitar.\nSelamat Hari Guru, Cikgu!\nDr. Abdul Halim Abdullah, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia." "Pemangku Raja Perlis dan Raja Puan Muda Perlis Beri Sokongan kepada Kontinjen Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPhnom Penh, Cambodia \u2013 Pemangku Raja Perlis DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan memberikan sokongan kepada kontinjen Malaysia di Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-32 Cambodia 2023 pada semalam.\nAntara sukan yang disaksikan oleh baginda berdua, termasuklah sukan lawan pedang, gusti dan tae kwon do di pusat konvensyen dan pameran Antarabangsa Chroy Changvar.\nKeberangkatan baginda berdua diiringi oleh Pengerusi Jawatankuasa Panel Timbangtara Sukan SEA, Datuk M. Rajasekaran yang juga merupakan anak kelahiran Perlis.\nPada acara sebelah malam, baginda turut menyaksikan perlawanan akhir bola sepak wanita antara Vietnam dengan Myanmar di Stadium Olimpik Cambodia, selain memberikan tanda sokongan kepada mereka.\nWalau bagaimanapun, perlawanan itu dimenangi oleh pasukan Vietnam dengan 2 jaringan gol daripada kaptennya, Hu\u1ef3nh Nh\u01b0 dan pemain muda Nguy\u1ec5n Th\u1ecb Thanh Nh\u00e3.\nDalam perkembangan lain, baginda telah bertemu dengan Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam; Dato Seri Chaiyapak Siriwat, Ketua Pegawai Eksekutif Southeast Asian Games Federation dan juga Tomas Eriksson, Presiden Persekutuan Floor Ball Antarabangsa." "Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan: Meraikan Guru Insani\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMelaka \u2013 16 Mei merupakan tarikh keramat bagi para pendidik di seluruh Malaysia yang telah berkorban masa dan tenaga demi mendidik anak bangsa yang bakal melahirkan generasi hebat sepanjang zaman.\nBertempat di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka, Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan dengan tema Guru Insani Pemangkin Generasi MADANI telah dilancarkan dengan penuh gemilang pada hari ini.\nPerdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim hadir bersama-sama Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek dan Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Rauf Ab Rauf Yusoh bersempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan pada kali ini.\nYAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya berkata,\nGuru-guru telah menanam sahsiah, akhlak dan budi pekerti yang mulia dalam diri saya. Dan perkara inilah yang telah melakar falsafah pendidikan Malaysia MADANI. Peranan sebagai seorang guru memang besar dalam memastikan kejayaan anak muridnya. Tugas guru tidak pernah selesai kerana kasihnya mereka kepada anak didik.\nTema Hari Guru yang dipilih oleh Kementerian Pendidikan Malaysaia (KPM) pada tahun ini, iaitu Guru Insani Pemangkin Generasi MADANI diharapkan dapat menjadi titik tolak kepada kemajuan dunia pendidikan pada masa ini dan pada masa hadapan.\nMenteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek turut berkongsi berita gembira kepada para pendidik dengan penetapan 10 prakarsa yang akan menjaga kebajikan guru bersesuaian dengan pembentukan guru insani.\n10 inisiatif dan prakarsa tersebut adalah:\nMenurut beliau lagi,\nInisiatif ini tidak akan berhenti di sini demi kesejahteraan para pendidik yang mendidik anak bangsa.\nMajlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 ini turut mengiktiraf dua tokoh pendidik yang telah berjasa sepanjang bergelar guru, iaitu YBhg. Dato\u2019 Mazlan Mohamad sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan dan YBhg. Datuk Dr. Hajah Nuinda Haji Alias sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2023.\n\u201cMembakar Diri Ibarat Lilin\u201d, itulah susuk seorang guru yang sering kita kenali dalam mendidik anak bangsa dan tarikh 16 Mei telah menjadi saksi pengorbanan insan yang bergelar guru." "Kunjungan Kementerian Luar Negeri ke DBP Mengukuhkan Hubungan Kerjasama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kunjungan hormat Kementerian Luar Negeri (KLN) ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada hari ini telah mengukuhkan lagi hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak. Dalam pertemuan tersebut, DBP dan KLN berbincang tentang penganjuran kursus dan program pengembangan bahasa Melayu pada peringkat luar negara yang boleh dilaksanakan oleh DBP dengan kerjasama KLN dalam usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan 1957.\nMelalui kunjungan ini juga, DBP dan KLN dapat bertukar-tukar pandangan mengenai isu semasa pada peringkat serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.\nRombongan dari KLN dihadiri oleh empat orang pegawai yang diketuai oleh YBhg. Dato\u2019 Yubazlan Haji Yusof, Setiausaha Bahagian, Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam, KLN. Manakala DBP pula diketuai oleh YBrs. Dr. Hazami Jahari selaku Ketua Pengarah DBP yang turut mempengerusikan sesi kunjungan hormat tersebut.\nMenurut Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, kerajaan kini komited memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Hal ini dapat dilihat melalui pembentangan Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, yang telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk penerbitan buku.\nDalam usaha memanfaatkan peruntukan tersebut, DBP telah merangka mekanisme terbaik untuk memastikan peruntukan yang akan disalurkan bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh pihak DBP, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), dan Yayasan Karyawan, malah kepada penerbit buku yang lain juga.\nAntara fokus yang akan diberikan tumpuan termasuklah penterjemahan karya asli dan karya agung dalam bahasa Melayu kepada bahasa asing dan dalam bahasa asing kepada bahasa Melayu, serta penerbitan karya agung dan penerbitan terpilih lain. Kerajaan juga telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta untuk mengangkat karya Sasterawan Negara, karya agung dan klasik yang melibatkan khazanah Melayu.\nSementara itu, YBhg. Dato\u2019 Yubazlan Haji Yusof pula memaklumkan bahawa di bawah fungsi bahagian baharu, iaitu Bahagian Diplomasi Bahasa dan Budaya, KLN akan memberikan fokus kepada perkembangan bahasa dan budaya.\nPada masa yang sama, KLN berharap agar kursus dan kegiatan anjuran DBP dapat diteruskan untuk memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat serantau dan antarabangsa, antaranya termasuklah Kursus Simple: Special Malay Language Enhancement Programme yang diadakan dengan kerjasama Pusat Diplomasi Bahasa dan Budaya (CLCD), Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Pemantapan sukatan pelajaran (syllabus) Bahasa Melayu untuk anak-anak perwakilan luar negara dan diaspora luar negara, Kursi bahasa Melayu di luar negara, program yang bersifat antarabangsa, seperti Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) dan program lain yang seumpamanya.\nSelain itu, DBP akan meneruskan usaha pada peringkat serantau dan antarabangsa melalui Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu atau singkatannya MABM, iaitu sebuah majlis khas yang ditubuhkan untuk menyelaraskan aktiviti kebahasaan yang menjurus terhadap matlamat pengembangan bahasa pada peringkat antarabangsa, Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia atau MABBIM, iaitu sebuah majlis yang ditubuhkan untuk merancang dan memantau perkembangan bahasa Melayu/Indonesia pada peringkat serantau dan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), iaitu sebuah majlis yang merancang dan memantau perkembangan Sastera Melayu/Indonesia pada peringkat serantau.\nDBP juga telah menyenaraikan beberapa program, antaranya termasuklah Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur.\u00a0\nPegawai KLN yang turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Encik Mohd. Farhan Mohd Arefin, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam; Encik Azad Iklas Ismail, Penolong Setiausaha, Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam; dan Encik Suresh Kumar a/l K. Rengasamy, Pengarah Pusat Diplomasi Bahasa dan Budaya (CLCD), Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR).\nManakala pihak pengurusan DBP yang turut hadir sama ialah Tuan Haji Md. Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar); Encik Zulfa Hamzah, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi); Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan; Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Penerbitan; Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato\u2019 Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera; Encik Sharrul Rizal Hashim, Ketua\u00a0Bahagian Komunikasi Korporat; dan kumpulan pegawai DBP." "Buku Glosari Linguistik: Linguistik Korpus Sumber Rujukan Pengguna Korpus\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBANGI \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus memperkasakan penerbitannya menerusi penerbitan buku Glosari Linguistik: Linguistik Korpus. Buku yang sangat bermanfaat kepada ahli penyelidik dalam bidang korpus ini dipromosikan oleh Encik Mohd Fadzli Tajuid, Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, DBP, selepas menyampaikan taklimat dalam Sesi Korpus DBP.\nPromosi buku ini dilakukan bersempena dengan Simposium Penyelidikan Korpus Malaysia (SPKM) 2022 yang diadakan pada 29 September 2022 di Hotel Bangi-Resort. Simposium yang telah bermula pada 28 September 2022 itu menghimpunkan pelbagai sarjana linguistik korpus dari dalam dan luar negara. Perhimpunan ini ialah usaha sama antara DBP, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Malaysian Corpus Research Network, serta Gale Cangage.\nBuku Glosari Linguistik: Linguistik Korpus diterbitkan secara dalam talian oleh DBP sebagai usaha untuk memaksimumkan penyebarluasannya. Menerusi matlamat ini, diharapkan semua sarjana linguistik berpeluang menjadikannya sebagai rujukan ketika melaksanakan kajian yang berasaskan korpus.\nSebanyak 259 istilah sumber dan 274 istilah sasaran terkandung dalam buku ini. Pembinaan istilah dalam glosari ini pula disahkan oleh Jawatankuasa Istilah (JKI) Linguistik: Linguistik Korpus yang terdiri daripada pakar dalam bidang linguistik korpus.\nAntara pakar yang terlibat dalam penerbitan buku ini termasuklah Profesor Dato\u2019 Dr. Imran Ho Abdullah (UKM), Profesor Madya Dr. Norliza Jamaluddin (Universiti Penyelidikan Sultan Idris), Dr. Azhar Jaludin (UKM) dan Dr. Noor Ida Ramli (Universiti Teknologi MARA). Oleh sebab itu, pengguna tidak perlu ragu-ragu akan ketepatan istilah yang terdapat dalam buku ini.\nPeranan ketua editor bagi buku ini digalas oleh Encik Mohd Fadzli Tajuid, manakala peranan editor digalas oleh Puan Nor Azianti Abd Aziz dari bahagian yang sama. Perunding portal yang menempatkan buku ini pula terdiri daripada pakar dari DBP sendiri, iaitu Encik Sulaiman Kaiat, yang merupakan Ketua Bahagian Sistem Maklumat dan Encik Abu Bakar Buyong dari bahagian yang sama.\nBagi memudahkan pengguna yang kali pertama menggunakannya, buku ini dilengkapi dengan pedoman penggunaan. Pedoman ini meliputi aspek tertentu, seperti senarai istilah, nombor, garis miring dan sinonim. Sebagai usaha menyebarluaskan istilah dalam bahasa Melayu ini, pengguna boleh mendapatkan buku ini di http://linguistikkorpus.dbp.gov.my/. Pengguna tidak perlu memperuntukkan duit untuk membelinya kerana capaian terhadap buku ini diberikan secara percuma oleh DBP." "Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Dikurniai Anugerah Tokoh Guru Suluh Budiman\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTanjung Malim \u2013 Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan dikurniai Anugerah Tokoh Guru Suluh Budiman dalam majlis Sambutan Hari Guru oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim, hari ini yang disampaikan oleh Permaisuri Sultan Perak, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Zara Salim, selaku Canselor UPSI.\nAnugerah Tokoh Pendidikan Suluh Budiman dikurniakan kepada beliau sebagai tokoh pendidik yang berpengalaman mengajar di sekolah, selain di peringkat universiti sama ada di tanah air mahupun di luar negara.\nYB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan pernah bertugas di Yayasan Anda Akademik sebagai guru Bahasa Melayu, selain di Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).\nDi UPSI, beliau pernah menjadi Profesor Madya di Fakulti Bahasa pada 24 tahun yang lalu dan kemudian menjadi Profesor Penyandang Kursi Za\u2019ba (2019-2021). Manakala, di luar negara pula, beliau pernah menyandang jawatan sebagai Pensyarah Kanan Universiti\u00a0 Brunei Darusssalam, Profesor Penyandang Kursi Pengajian Melayu Kerajaan di Beijing dan Profesor Tamu di Universiti\u00a0 Goethe, Frankfurt, Jerman dan Universiti Sumatera Utara, Indonesia.\nSebagai penerima Anugerah Tokoh Pendidikan Suluh Budiman, YB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan turut berharap agar bidang pendidikan dapat dijadikan sebagai wadah pembina pemikir dan pendukung tamadun negara, selain sebagai asas kerjaya dan sumber rezeki." "Raja Perlis Raikan Ulang Tahun Keputeraan ke-80\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bersempena dengan Ulang Tahun Raja Perlis yang ke-80, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan menerima sembah mengadap Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Razarudin Husain dan isteri, Puan Sri Zainah Othman di Istana Perlis Kuala Lumpur, pada malam tadi.\nTurut berangkat sama ialah Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.\nSelesai majlis mengadap, baginda Raja Perlis menitahkan ucapan\u00a0 terima kasih kepada semua pihak dan individu yang mempersembahkan ucapan sembah tahniah bersempena dengan hari ulang tahun baginda yang ke-80\npada hari ini, iaitu 17hb Mei.\nBaginda turut mendoakan agar negeri Perlis terus makmur, aman dan sentosa selamanya serta seluruh rakyat turut dikurniakan kebahagiaan dan kesejahteraan hidup." "Bengkel Penulisan Buku Bergambar Kanak-kanak Melahirkan Penulis Baharu di Wilayah Selatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJohor Bahru \u2013 Bengkel Penulisan Buku Bergambar Kanak-kanak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ) yang diadakan di PPAJ, berjaya memperkukuh kefahaman dan kemahiran menulis para peserta bengkel dalam aspek pemilihan perkataan dan ilustrasi yang bersesuaian untuk bacaan kanak-kanak berumur empat tahun hingga sembilan tahun.\nBengkel yang diadakan pada 15 dan 16 Mei 2023 ini dibimbing oleh Puan Norhayati Daud, pengarang dan penerbit buku kanak-kanak serta pengasas kad ASK (Inovasi Pembelajaran Bahasa). Dengan menggunakan kad ASK, peserta diajar kaedah mencari idea penulisan, pembinaan ayat dan jalan cerita yang mudah dan dekat dengan kanak-kanak.\nMenurut Dr. Raja Zahilah Raja Mohd Radzi, Pensyarah Sains Komputer, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melahirkan rasa teruja kerana dapat menyiapkan manuskrip buku bergambar kanak-kanak dalam tempoh sehari berbengkel.\nSebagai penulis baharu, melalui penggunaan kad ASK saya dapat merangsang idea dan menulis buku cerita bergambar kanak-kanak dengan mudah.\nTambah beliau, sebelum mengikuti bengkel ini dia menghadapi sukar mencari idea dan membina ayat mudah untuk menghasilkan buku bergambar kanak-kanak. Pandangannya turut disokong oleh Puan Faizah Yusof yang juga dapat menghasilkan manuskrip buku bergambar kanak-kanak menggunakan kad ASK.\nSaya juga berasa teruja kerana bengkel kali ini banyak memberikan ilmu baharu menghasilkan buku bergambar kanak-kanak. Selalunya, jika mahu menghasilkan manuskrip sangat sukar, namun kaedah yang diajarkan oleh Puan Norhayati, semua peserta dapat menghasilkan manuskrip dengan lebih mudah.\n\u00a0\nSementara itu, bengkel penulisan tersebut kali ini pihak penganjur turut mengundang pengarang dan ilustrator buku kanak-kanak, Puan Zanariah Salam. Sebagai ilustrator buku kanak-kanak, Puan Zanariah menunjukkan kaedah mudah menyediakan ilustrasi untuk buku bergambar kanak-kanak dengan menggunakan teknik lukisan kolaj. Penyediaan ilustrasi menggunakan kaedah \u201cgunting dan tampal\u201c dapat memberikan kaedah mudah menyediakan ilustrasi untuk buku bergambar kanak-kanak.\nMenurut pelajar Praktikal Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI), Nurul Nazihah Rusli berasa teruja dapat menyediakan ilustrasi sendiri untuk manuskrip yang dihasilkan. Sebagai penulis baharu, kerisauannya menyediakan ilustrasi diselesaikan oleh pihak penganjur dengan menyediakan juga bengkel penyediaan ilustrasi mudah.\nKaedah penyediaan ilustrasi gunting dan tampal dapat memberikan idea baharu kepada pengarang buku kanak-kanak dalam menyediakan ilustrasi. Kebanyakan pengarang buku sukar mendapatkan ilustrator untuk manuskrip yang dihasilkan. Dengan kaedah ini, dapat menjimatkan kos pengarang buku kanak-kanak.\nMenurutnya lagi, sungguhpun sedikit rumit, namun kepuasan yang diperoleh sungguh berbeza kerana dapat menyediakan sendiri ilustrasi yang diperlukan.\nBengkel ini berjaya mencapai objektif penganjuran dengan memberikan bimbingan dan panduan kepada peserta untuk menghasilkan manuskrip dan ilustrasi buku bergambar kanak-kanak yang bakal diterbitkan oleh PPAJ.\nBengkel tersebut disertai oleh 40 orang peserta yang terdiri daripada penulis sambilan, penulis tetap, pesara kerajaan, pensyarah UTM dan Universiti Teknologi Tun Hussein Onn, pensyarah dan pelajar Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI), staf DBPWS serta penggiat sastera sekitar Johor Bahru, Johor.\nBengkel berakhir dengan majlis penyampaian sijil kepada peserta yang disempurnakan oleh Pengarah PPAJ, YM Ungku Hajah Noorakmal Ungku Sulaiman, diiringi oleh Timbalan Pengarah (Sastera) DBPWS, Puan Azura Mohd Halid." "UMT: Ekosistem Pembelajaran Sepanjang Hayat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nEra pendidikan global semakin berkembang pesat seiring dengan keperluan dan perkembangan tamadun dunia semasa. Secara kesinambungannya, era modenisasi ini sejajar dengan misi Malaysia MADANI yang memperlihatkan proses pendidikan di Malaysia terus berkembang secara fleksibel dan holistik di mana-mana sahaja dan pada setiap masa. Generasi Malaysia MADANI kini tidak mengenal status pendidikan dan latar belakang serta tidak lagi bergantung kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mendapatkan pengiktirafan pendidikan melalui Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) semata-mata, tetapi sudah mampu berdikari untuk belajar sepanjang hayat mengikut kemampuan dan minat masing-masing.\nPembelajaran sepanjang hayat (PSH) sebegini membolehkan sesiapa sahaja, termasuk orang dewasa dan warga emas menimba ilmu dan meluaskan pengalaman seumur hidup mereka. PSH juga diyakini berimpak besar terhadap generasi MADANI kerana dapat menambah baik kehidupan mereka melalui peningkatan kemahiran, pembangunan kerjaya dalam sesuatu bidang yang sedang diceburi, mahupun kerjaya baru pada masa akan datang.\nTerkini, Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) melalui Teras ke-6, mensasarkan pembudayaan PSH individu melalui pemerolehan kemahiran baru, iaitu peningkatan kemahiran sedia ada dan pemerolehan faedah sosioekonomi. Oleh itu, kolaborasi pembudayaan PSH semakin digiatkan pelaksanaannya melalui pelbagai agensi bagi menjamin Malaysia MADANI menjadi seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri, iaitu berupaya memartabatkan kegemilangan negara hingga ke persada dunia. Rentetannya, di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) turut aktif dilibatkan dalam misi pembudayaan PSH negara.\nSehingga kini, UMT telah berjaya meraih beribu peserta melalui kursus PSH seperti yang dilaporkan melalui Direktori Pembelajaran Sepanjang Hayat, KPT. Menariknya, data profil peserta sepanjang hayat di UMT menunjukkan peningkatan yang ketara bagi semua kumpulan (berumur 15 tahun ke atas, peserta profesional, dan bakal peserta sepanjang hayat) dari tahun ke tahun. Oleh itu, jelaslah bahawa UMT memiliki dedikasi terhadap PSH dengan menjana potensi diri insan secara berterusan agar aspek kompetensi kendiri, termasuklah pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari berupaya dimanfaatkan kembali untuk pemerkasaan komuniti setempat.\nKonsep dan Bentuk Program Pembelajaran Sepanjang Hayat\u00a0\u00a0\nUMT sentiasa memastikan aktiviti PSH yang dilaksanakannya adalah bertunjangkan kepada misi pendemokrasian pendidikan kebangsaan dan menepati rukun peradaban Malaysia MADANI dengan merangkumkan program pemerolehan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang relevan di tempat kerja. Proses pendidikan berkenaan juga dipastikan berlaku secara berterusan dengan mewujudkan peluang kepada generasi muda dan dewasa untuk menyambung pembelajaran selepas tamat sistem persekolahan sebenar. Para peserta yang berminat bukan sahaja boleh mendaftar secara sepenuh masa tetapi juga secara sambilan. Realitinya, UMT bersedia membantu keseluruhan proses melengkapkan personalitali, sosial, dan pembangunan profesional sepanjang hayat individu demi keutuhan masyarakat MADANI yang progresif berteraskan ilmu pengetahuan.\nKeseluruhannya, perancangan dan pelaksanaan pembelajaran PSH UMT secara sistematik berjaya melahirkan program yang holistik untuk peserta pada pelbagai peringkat umur sama ada secara formal, bukan formal mahupun tidak formal, antaranya:\nProgram PSH jangka pendek yang dijalankan adalah berkonsepkan pembelajaran amali, kursus praktikal dan teori berdasarkan pengkhususan bidang. Contohnya, latihan akademik, praktikal, lawatan sambil belajar, seminar dan bengkel untuk lepasan sekolah dan lulusan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Kursus jangka pendek UMT juga boleh diwujudkan secara berkredit atau tanpa kredit bagi pensijilan profesional secara separuh masa, peningkatan latihan dan perkhidmatan sedia ada kepada pekerja organisasi atau industri secara aktif. Sebagai contoh, UMT menawarkan kursus Micro-credential atau kursus yang dipecah kecil bagi mengiktiraf pemerolehan pengetahuan, kemahiran serta kecekapan peserta dalam bidang ilmu tertentu. Terkini, Micro-credential tersebut melibatkan penawaran tujuh kursus dengan 29 modul berkredit secara mikro kepada 700 peserta Akademi Bomba Wakaf Tapai, Terengganu. Kebiasaannya, kurikulum, lokasi dan jadual bagi kursus program jangka pendek sebegini ditetapkan berdasarkan kepada keperluan, permintaan dan kesesuaian majikan.\nPelbagai kursus PSH yang diprogramkan sama ada di peringkat Diploma, Diploma Lanjutan, Sarjana Muda, dan Sarjana yang bersesuaian dengan program sedia ada di fakulti UMT boleh dipertimbangkan pelaksanaannya oleh pihak UMT. Tempoh Pembelajarannya adalah berdasarkan sistem semester yang diiktiraf oleh pihak Agensi Kelayakan Malaysia atau Malaysian Qualifications Agency (MQA). Di samping itu, kemasukan peserta kursus berkenaan juga dibenarkan sekiranya memiliki kelayakan STPM/Diploma/Matrikulasi Marikulasi. UMT turut menerima pelajar melalui saluran kemasukan secara Accreditation of Prior Experiential Learning\u00a0 (APEL) A di samping kemasukan secara konvensional melalui Unit Pusat Universiti (UPU).\nImpak Pembelajaran Sepanjang Hayat UMT\nAntara beberapa impak PSH UMT adalah: Kesimpulannya, UMT menggerakkan variasi aktiviti pembelajaran sepanjang hayat selari dengan Wawasan Malaysia MADANI, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan Pelan Induk Pembudayaan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) kebangsaan. Justeru, pembangunan modal insan berminda kelas pertama telah dijadikan satu daripada teras utama ke arah mencapai matlamat yang dihasratkan. Pengembangan pendidikan PSH UMT sebagai budaya dan cara hidup sentiasa dimantapkan secara komprehensif bagi melahirkan modal insan yang berkualiti dan berminda kelas pertama melalui program pendidikan jarak jauh, dalam talian, pembelajaran di tempat kerja dan separuh masa. Aktiviti pembudayaan ini sangat penting dalam memberikan kesan secara langsung kepada output pembangunan modal insan negara selaras dengan keperluan ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi negara sehingga ke peringkat global." "Bidang TVET Beri Manfaat terhadap Institusi Pendidikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPhnom Penh, Cambodia \u2013 Melalui pendedahan kepada graduan pada peringkat institusi pengajian tinggi, akademi dan institusi TVET di negeri ini, adalah amat diharapkan agar inti pati strategi ini dapat diterapkan oleh semua pemegang taruh bagi membolehkan para pelajar menerima manfaat.\nDemikian titah Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat singgah bagi menyerahkan sumbangan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebanyak RM1000 kepada Masjid Nurul Ehsan, Phnom Penh yang diterima oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Masjid berkenaan, Idris Saleh baru-baru ini.\nAspek pendidikan dan latihan merupakan asas kejayaan dalam usaha untuk memperkasakan modal insan serta merupakan faktor utama bagi menjana dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi sesebuah negeri dan juga negara.\nHasrat untuk memperkukuh pendidikan dan memperkasa modal insan dengan memperluas peluang pendidikan, meningkatkan kualiti program latihan kemahiran dan meningkatkan jaringan kerjasama dengan industri disambut baik, khususnya bagi negeri Perlis.\nTambah baginda,\nPembelajaran sepanjang hayat yang menjadi aspirasi untuk mendorong pembangunan pengetahuan dan kecekapan rakyat dapat dilihat melalui tiga bentuk pembelajaran iaitu secara formal, bukan formal dan tidak formal perlu diperkukuhkan lagi bagi membangunkan rakyat yang mampu mengenal pasti kelemahan diri dan berupaya mengubah serta memperbaiki nasib diri serta keluarga.\nKeberangkatan Tuanku Pemangku Raja bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diiringi oleh Setiausaha Ketiga Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh, Mohd Syazwan Mohd Nasir." "OPR: Kestabilan Ekonomi Perlu Berasaskan Realiti Semasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) telah menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada tiga peratus pada Rabu, 3 Mei lalu. Dalam prinsip ekonomi makro, tindakan tersebut merupakan sesuatu yang wajar dilakukan bagi kebaikan dan kestabilan ekonomi, khususnya bagi kestabilan ekonomi makro jangka panjang. Kenaikan kadar OPR ini berfungsi bagi mengurangkan tekanan harga dan inflasi, iaitu bagi mengawal aliran wang dalam pasaran bagi mengekang inflasi. Kadar meminjam masyarakat akan menurun, sementara aliran wang dalam pasaran akan menurun dan kuasa beli juga akan menurun. Proses ini dilihat dalam prinsip ekonomi makro mampu membawa kesan positif terhadap ekonomi negara.\nDengan kadar OPR yang tinggi, kadar bayaran balik pinjaman akan meningkat. Situasi ini tidak memungkinkan sebarang pinjaman baharu anggota masyarakat kerana bakal berdepan dengan kadar tanggungan yang lebih tinggi. Pinjaman yang sedia ada akan menerima impak akibat kenaikan OPR, iaitu kadar bayaran balik pinjaman yang bertambah tinggi daripada sebelumnya. Pada prinsipnya, keadaan ini akan menggalakkan masyarakat untuk melakukan simpanan atau tabungan kerana kadar pulangan yang lebih tinggi.\nApabila masyarakat mempunyai simpanan yang lebih tinggi ( rentetan daripada pulangan yang lebih tinggi ditawarkan), maka aliran wang dalam masyarakat akan berkurangan. Hal ini dapat mengurangkan kadar inflasi. Inflasi merujuk aliran wang yang banyak mengejar barangan yang sedikit. Sebagai contoh, apabila aliran wang dalam masyarakat semakin kurang, maka kadar inflasi dapat dibendung. Prinsip umum ekonomi makro mendapati bahawa kestabilan akan berlaku apabila jumlah aliran wang dalam masyarakat selari dengan barangan yang dikeluarkan. Ekonomi makro akan berada dalam keadaan stabil, iaitu inflasi dapat dikawal, tabungan meningkat, pelaburan bertambah dan ekonomi pada umumnya akan berada dalam keadaan yang lebih baik.\nPersoalan yang timbul dan perlu difikirkan sekarang ialah adakah prinsip asas ekonomi makro seperti yang dibincangkan di atas benar-benar mampu membawa kebaikan dan keadaan ekonomi yang lebih baik? Proses pembentukan ekonomi makro yang lebih baik seperti yang dinyatakan di atas boleh berlaku dengan beberapa andaian iaitu, kadar pengangguran yang rendah dan dalam keadaan kadar guna tenaga penuh. Adakah hal ini berlaku dalam negara kita sekarang? Berapa peratuskah kadar pengangguran yang sedang dialami sekarang? Bagaimanakah dengan kadar guna tenaga? Adakah kita berada dalam keadaan guna tenaga penuh? Semua ini mempunyai hubungan rapat dengan pendapatan agregat masyarakat.\nBagaimanakah boleh berlakunya peningkatan kadar tabungan jika pendapatan masyarakat kecil? Perbelanjaan asas anggota masyarakat kepada barangan keperluan adalah lebih penting daripada tabungan. Tabungan boleh berlaku sekiranya perbelanjaan keperluan asas sudah dipenuhi dan pendapatan agregat masyarakat berada dalam keadaan optimum. Tidak mungkin anggota masyarakat melakukan tabungan (walaupun dengan kadar pulangan yang tinggi) sekiranya keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan pengangkutan tidak dipenuhi. Andaian ekonomi makro ini tidak tepat dalam semua keadaan. Proses dan aplikasi ekonomi makro yang cuba digerakkan mesti bersyarat dengan beberapa andaian asas yang tepat. Andaian itu sangat penting dan perlu diasaskan dengan tepat. Contoh mudah kesan daripada kenaikan OPR berlaku apabila kenaikan bayaran pinjaman perumahan dan bayaran bulanan kenderaan.\nDengan kenaikan kadar OPR yang baharu ini kepada tiga peratus, maka kadar bayaran bulanan pinjaman rumah dan kereta akan meningkat. Apakah kesannya kepada pengguna umum? Pendapatan boleh guna didapati akan menurun. Tempat tinggal dan kenderaan keperluan asas merupakan aspek yang tidak boleh dikesampingkan. Mahu tidak mahu, bayaran bulanan pinjaman perumahan dan kereta mesti diteruskan. Adakah sebahagian besar masyarakat boleh meningkatkan simpanan dalam keadaan ekonomi sekarang? Jawapan mudahnya sebahagian besar adalah tidak mungkin. Adakah prinsip ekonomi makro ini tepat dan membawa kebaikan kepada sebahagian besar masyarakat kita dalam keadaan ekonomi sekarang?\nSekarang masyarakat sedang melakukan penyesuaian akibat daripada pandemik COVID-19. Kedudukan pendapatan isi rumah dan perjalanan ekonomi masih lagi belum pulih dengan sempurna. Walaupun terdapat petanda bahawa akan berlakunya pertumbuhan ekonomi negara, tetapi hal tersebut diandaikan tidak berlaku secara menyeluruh kepada seluruh anggota masyarakat. Masih ramai yang hidup dalam kesusahan dan perlu sedikit masa lagi bagi memulihkan keadaan. Mungkin ada sektor tertentu yang menyumbang kepada peningkatan pertumbuhan ekonomi negara.\nPetunjuk ekonomi makro ini tidak memberi makna yang benar-benar tepat kepada semua isi rumah. Hal ini disifatkan sama seperti konsep pertambahan pendapatan per kapita yang meningkat, iaitu tidak bermakna semua anggota masyarakat mengalami peningkatan pendapatan. Jumlah pendapatan negara dibahagikan dengan jumlah penduduk, maka dapatlah hasil pendapatan per kapita. Hal ini tidak benar-benar membayangkan pendapat sebenar rakyat secara keseluruhan. Perkiraan pendapatan per kapita ini sudah tidak lagi tepat digunakan bagi melihat kedudukan sebenar taraf hidup sesebuah negara. Dalam hal pengukuran tepat pendapatan per kapita, ukuran berasaskan keperluan asas lebih sesuai digunakan. Perbandingan yang sama juga boleh digunakan bagi menterjemahkan pertumbuhan ekonomi negara. Pertumbuhan ekonomi yang berlaku tidak boleh dijadikan asas bagi mengubah polisi ekonomi makro negara kerana pertumbuhan ekonomi itu mungkin dipacu oleh beberapa sektor tertentu, bukannya oleh kesemua sektor.\nSecara umumnya negara sedang menyusun dan membina semula kedudukan ekonomi dan keselesaan hidup rakyat selepas era pandemik. Dasar ekonomi makro seperti kenaikan kadar OPR perlu dilihat dengan lebih teliti. Adakah hal ini akan membawa kebaikan kepada rakyat umum yang sesetengahnya masih dalam keadaan susah dan tersepit? Tidak dinafikan, penyusunan dan kestabilan ekonomi serta dasar baharu makro seperti kenaikan kadar OPR merupakan kaedah yang perlu dilakukan. Namun begitu, pada masa ini kaedah ini belum benar-benar sesuai dan perlukan sedikit masa lagi. Walaupun dikatakan sebagai polisi dan dasar Bank BNM, tetapi terdapat sebahagian rakyat yang tidak dapat menerimanya.\nPada masa yang sama, penentuan arah sokongan politik dan keputusan pengundi dalam pilihan raya juga melibatkan keputusan berasaskan persepsi pengundi. Dalam keadaan Pilihan Raya Negeri yang bakal berlangsung di enam buah negeri yang akan menjelang tidak lama lagi, adakah isu OPR ini akan mampu mempengaruhi dan akan memberikan kesan kepada keputusan pengundi? Kerajaan sekarang perlu bertindak dengan lebih tepat kerana tidak semua rakyat faham erti dan operasi ekonomi makro, lebih-lebih lagi melibatkan kepentingan ekonomi makro dan maksud kestabilan ekonomi jangka panjang. Perkara asas yang rakyat umum fikirkan sudah pasti melibatkan kepentingan \u201cperut\u201d masing-masing dan keperluan asas semasa yang belum lagi dipenuhi. Prinsip ekonomi makro, jangka panjang dan kestabilan ekonomi perlu berasaskan realiti semasa. Tidak semua prinsip ekonomi dapat dilakukan dengan tepat dalam semua masa dan keadaan. Penyesuaian dan realiti semasa perlu diambil kira bagi mendatangkan hasil yang lebih sesuai dan diterima umum bagi kesejahteraan masyarakat.\nProf. Madya Dr. Mohd. Noor Yazid, Felow Penyelidik Kanan,Institut Kajian Orang Asal Borneo, Universiti Malaysia Sabah,Kota Kinabalu." "800 Guru Diraikan dalam Program \u201cWacana Ilmu: Apresiasi Pendidikan\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKepala Batas\u00a0\u2013 Sebanyak 800 orang guru hadir bagi memeriahkan program \u201cWacana Ilmu: Apresiasi Pendidikan\u201d peringkat Negeri Pulau Pinang di Bertam Resort Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.\nDalam program tersebut, sebanyak 32 orang termasuk pesara guru telah dipilih menerima pelbagai anugerah yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.\nMenurut urus setia program tersebut iaitu Syariman Alias, terdapat guru yang dipilih untuk menerima\u00a0 wang tunai berjumlah RM1000 yang merupakan tajaan dari beberapa buah bank bagi menghargai perkhidmatan mereka selama ini.\n\u201cHanya dua orang guru sahaja menerima hadiah istimewa berupa wang tunai RM2500 dan sebuah motosikal bagi setiap seorang,\u201d \u00a0tambah beliau.\nBeliau turut berkata,\nPenerima Anugerah Tokoh Guru Negeri Pulau Pinang ialah, Loh Yat Cheng, 62 tahun, iaitu bekas Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Union Timur Laut dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Negeri, Norhassim Mahat, 62 tahun yang merupakan Pegawai Pendidikan Daerah Seberang Perai Selatan.\nPihak penganjur menyampaikan ucapan penghargaan kepada pelbagai pihak, termasuk Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dan Co-op Bank kerana memberikan kerjasama terhadap program yang dianjurkan.\nBagi meraikan golongan pendidik, sebanyak lima anugerah baharu diperkenalkan dan diberikan kepada guru yang banyak menyumbang kepada masyarakat,iaitu Anugerah Jasa Bakti Sanjung Budi (AJBSB).\nPenerima AJBSB tersebut ialah Hanifah Abdul Majid dari Seberang Perai Tengah (SPT), Mustafa Sapee dari Seberang Perai Selatan (SPS), Jaapar Mastan dari Barat Daya (BD), Mat Kamil Sudin dari Seberang Perai Utara (SPU) dan Lim Thoon Leong dari Timur Laut (TL).\nKesemua anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Yang Amat Berhormat (YAB) Tuan Chow Kon Yeow. Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad; Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat dan Ketua Penggerak Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Negeri Pulau Pinang, Datuk Ahmad Darus." "Pemangku Raja Perlis dan Raja Puan Muda Perlis Berangkat ke Majlis Riang Ria Aidilfitri UniMAP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat bagi memeriahkan lagi Majlis Riang Ria Raya Aidilfitri Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 2023 yang diadakan di Dewan Serbaguna UniMAP, Kampus Kubang Gajah, Arau, hari ini.\nKeberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Raja Dato\u2019 Azwane Raja Ariff, Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Ir. Zaliman Sauli dan para pegawai utama universiti.\nMajlis ini dihadiri hampir 5000 tetamu termasuk pelajar. Warga kerja tersebut diceriakan dengan pelbagai persembahan menarik. Antaranya, persembahan Cak Lempong yang dipersembahkan oleh pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Teknologi Awam, persembahan tarian dan nyanyian lagu raya daripada pelajar, kakitangan UniMAP dan banyak lagi.\nDr. Zaliman dalam ucapan alu-aluannya berkongsi berita yang membanggakan apabila mahasiswa Diploma Kejuruteraan Mekatronik yang berasal dari Kampung Teluk Epa, Utan Aji, Perlis, iaitu Athachai Saiprawat a/l Kiang telah berjaya meraih pingat Gangsa dalam acara Kun Kru di Sukan SEA Kemboja 2023.\nUniMAP turut mencipta nama di Pameran Reka Cipta dan Inovasi Antarabangsa (ITEX) ke-34 di Kuala Lumpur Convention Centre kerana telah berjaya meraih lapan pingat emas dan dua perak.\nLebih manis, UniMAP turut dianugerahkan \u201cHenry Goh Award for Best Invention in Environmental Innovation\u201d menerusi produk ePANECEA: Enhanced Alkaline Earth Silicate of Rice Husk Ask Origin for Free Fatty Acid Extraction from Waste Frying Oil, hasil penyelidikan sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Ts. Dr. Hoo Peng Yong yang turut meraih pingat emas pada Malam Budaya Cipta ITEX 2023 berkenaan.\nBeliau juga bangga akan kejayaan sekumpulan pelajar UniMAP yang telah meraih 100 peratus pingat, iaitu enam pingat emas dan empat pingat perak di Pameran Inovasi Antarabangsa European Exhibition of Creativity and Innovation (EUROINVENT) 2023 di Lasi, Romania.\nTambah Dr. Zaliman lagi,\nMalah, dua pelajar kita, Muhammad Amirul Aiman A. Ramlee dan Reshikesan a/L Ravi telah memenangi Anugerah Khas bagi produk inovasi bertajuk Green Lead-free Sn-Cu Transient Liquid Phase Die-bonds for Geopolymer Crumb Rubber .\nTuanku Pemangku Raja yang juga Canselor dan Tuanku Raja Puan Muda selaku Pro Canselor menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh warga universiti atas kejayaan mengharumkan nama universiti dan juga negeri Perlis serta berharap UniMAP akan terus melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang berkualiti, cemerlang dari aspek akademik, sekali gus mempunyai keperibadian yang tinggi." "Pemangku Raja Perlis dan Raja Puan Muda Perlis Berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PDRM, Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Kontinjen Perlis di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Kangar, hari ini.\nKeberangkatan tiba Baginda berdua yang diiringi oleh anakanda bongsu, YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail disambut oleh Ketua Polis Perlis, YBhg. DCP Dato\u2019 Surina Saad dan Timbalan Ketua Polis Perlis,\u00a0YBrs.\u00a0SAC Baderul Hisham Baharudin serta Pegawai-pegawai Kanan PDRM Kontinjen Perlis.\nSejurus berangkat tiba, Baginda berdua berkenan melawat gerai-gerai juadah makanan beraneka jenis yang disediakan di perkarangan IPK Perlis, di samping beramah mesra dan bersalaman dengan warga kerja PDRM Kontinjen Perlis.\nDato\u2019 Surina dalam ucapan alu-aluannya berharap agar majlis tersebut akan dapat merapatkan lagi hubungan, bagi meningkatkan kerjasama sesama anggota untuk memantapkan pelaksanaan tugas dan tanggungjawab PDRM Perlis.\nDi samping kita merayakan hari yang mulia ini, sama-samalah kita gunakan kesempatan ini untuk menjalinkan hubungan yang lebih akrab supaya matlamat majlis ini diadakan akan tercapai, bergembira menyambut kemenangan dan mengeratkan hubungan silaturahim sesama insan.\nTuanku Pemangku Raja Perlis menzahirkan agar Majlis Jamuan Raya di bulan yang mulia ini akan dapat merapatkan lagi hubungan sesama anggota dan bekerja dengan baik bagi memastikan negeri Perlis akan menjadi negeri yang selamat didiami, harmoni, sejahtera dan sentiasa progresif maju ke hadapan." "Pemangku Raja Perlis Merasmikan Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Negeri Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra \u2013 Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 peringkat negeri Perlis yang berlangsung di Dewan Kecemerlangan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Alam Pauh Putra, semalam.\nKeberangkatan tiba Baginda ke program yang dianjurkan melalui kerjasama CyberSecurity Malaysia, CelcomDigi, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Gabungan Banteras Anti-Scam dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tersebut disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia, Jeneral Tan Sri Datuk Seri (Dr.) Zulkifeli Mohd. Zin (Bersara).\nTitah Pemangku Raja Perlis,\nJenayah siber kini semakin berleluasa dan menjadi serius, di mana penjenayah turut mengambil peluang atas perkembangan teknologi yang sama dengan meningkatkan keupayaan dan pengetahuan mereka untuk melakukan ancaman dan serangan siber.\nUntuk rekod, Perlis merupakan negeri kedua yang melangsungkan program ini dan Jelajah Anti-Scam Kebangsaan ini telah dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil pada 18 Mei 2023 di Petaling Jaya.\nTuanku Syed Faizuddin Putra yakin program ini mampu memberi dimensi baharu kepada seluruh rakyat Malaysia amnya dan masyarakat negeri Perlis khususnya, terutama bagi peserta yang hadir pada program berkenaan.\nTuanku Pemangku Raja juga berharap agar segala ilmu dan informasi yang diperoleh melalui forum tersebut sebaiknya dikongsi bersama ahli keluarga dan rakan taulan untuk sama-sama mengelak daripada menjadi mangsa scammer atau penipuan.\nSebelum itu, Jeneral Tan Sri Datuk Seri (Dr.) Zulkifeli Mohd. Zin ucapan alu-aluannya menyatakan, Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 yang diadakan ini merupakan satu Prakarsa atau inisiatif yang dilaksanakan bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran pengguna Internet tentang jenayah penipuan dalam talian.\nAncaman dan serangan siber yang berlaku bukan hanya tertumpu kepada serangan terhadap syarikat dan organisasi, malah pengguna individu turut menjadi mangsa pelbagai ancaman siber, termasuk penipuan dalam talian atau scam.\nTambah beliau lagi,\nBerdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), sehingga bulan Mac 2023 sebanyak RM250 juta nilai kerugian telah direkodkan akibat jenayah scam di Malaysia meliputi penipuan telekomunikasi, pembelian dalam talian, scam pinjaman tidak wujud dan scam pelaburan.\nPenipuan dalam talian, pencerobohan dan penggodaman, ketirisan data serta kecurian identiti kini menjadi ancaman serius kepada pengguna. Usaha menangani jenayah siber perlu terus dipergiatkan dengan penglibatan pelbagai entiti bagi memastikan pendidikan dan intervensi dapat dilaksanakan secara holistik dan kolektif.\nOleh itu, semua pihak hendaklah terus menggembleng tenaga dengan mempertingkatkan pelaksanaan program kesedaran keselamatan siber bagi memberi kefahaman kepada pengguna Internet tentang jenayah scam sekali gus bersama-sama berganding bahu membanteras jenayah ini." "Forum MCRN Bincang Isu Perkorpusan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBANGI \u2013 Pertemuan sarjana terkemuka dalam bidang perkorpusan menerusi Forum MCRN menjadi acara penutup dalam Simposium Penyelidikan Korpus Malaysia (SPKM) 2022 yang diadakan pada 29 September 2022 di Hotel Bangi-Resort. Forum ini menjadi pelengkap selepas semua peserta berhimpun untuk mendengar dan membentangkan kertas kerja masing-masing dalam simposium ini sejak 28 September 2022. Simposium ini merupakan program yang dianjurkan secara bersama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Malaysian Corpus Research Network (MCRN), serta Gale Cangage.\nSebanyak empat ahli panel dipilih untuk membincangkan isu perkorpusan dalam forum ini. Ahli panel tersebut terdiri daripada Profesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Tengku Mohd Tengku Sembok (Universiti Pertahanan Nasional Malaysia), Profesor Dr. Hajar Abdul Rahim (Universiti Sains Malaysia), Dr. Rusmadi Baharuddin (DBP) dan Profesor Madya Dr. Afida Mohamad Ali (Universiti Putra Malaysia). Forum ini dipengerusikan oleh Dr. Azhar Jaludin (UKM).\nSebagai panel pertama, Profesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Tengku Mohd Tengku menceritakan pengalamannya tentang korpus. Walaupun bukan berlatarbelakangkan linguistik, pakar dalam bidang komputer ini sangat berminat dalam bidang kebahasaan. Minat terhadap bahasa ini bukanlah suatu perkara yang menghairankan kerana dalam bidang sains komputer juga terdapat aspek bahasa yang dikenali sebagai bahasa pengaturcaraan.\nProfesor Dr. Hajar Abdul Rahim pula berkongsi tentang korpus berbahasa Melayu. Dalam konteks Malaysia sendiri, korpus pertama di negara ini adalah dalam bahasa Melayu. Menurut beliau, korpus yang menggunakan data berbahasa Melayu bukan sahaja ditemukan di Malaysia, tetapi turut ditemukan di luar negara menerusi korpus Malay Concordance Project yang\u00a0berpangkalan di Australia.\nBagi Dr. Rusmadi Baharuddin pula, penghasilan kamus yang lebih tuntas dan autentik memerlukan korpus yang mantap dari segi datanya. Oleh sebab itu, tidak hairanlah apabila kamus terkini yang diterbitkan oleh DBP, iaitu Kamus Dewan Perdana (KDP), menggunakan 100 peratus data korpus. Ketua Bahagian Perkamusan, DBP ini juga berkongsi pengalamannya sebagai penyusun KDP dari aspek penggunaan korpus.\nPanel terakhir, iaitu Profesor Madya Dr. Afida Mohamad Ali mengambil peluang dalam forum ini untuk menjelaskan tentang peranan MCRN. Badan ini ditubuhkan untuk menghubungkan semua penyelidik korpus yang ada. Jika sebelum ini wujudnya rasa keterbatasan antara setiap penyelidik korpus, kini dengan adanya MCRN, semua penyelidik bagaikan mempunyai sebuah keluarga besar yang sentiasa erat hubungannya. Setiap masalah atau persoalan yang membelenggu penyelidik korpus kini menjadi lebih mudah dengan adanya rangkaian penyelidik korpus menerusi MCRN yang akan membantu setiap ahlinya.\nPada akhir forum ini, pihak penganjur mengalu-alukan Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai penganjur SPKM yang seterusnya yang dijangka akan diadakan pada tahun 2024. Sebagai memperingati keluarga besar korpus ini, semua peserta mengabadikan memori dengan bergambar kenangan sebelum bersurai pulang." "JPWPKL, JPNS dan PPD Tanggung Kerosakan 36 Buah Sekolah Akibat Ribut\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa kejadian ribut yang melanda beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor pada 19 Mei lalu telah mengakibatkan kerosakan kepada 36 buah sekolah. Kerosakan tersebut melibatkan sebanyak 27 buah sekolah di Kuala Lumpur dan sembilan buah sekolah di Selangor.\nPihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan membuat penilaian lanjut terhadap kerosakan yang berlaku di sekolah berkenaan dengan kerjasama daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).\nSeterusnya, pihak JKR akan mengemukakan laporan penilaian berserta anggaran kos kepada KPM. Penyaluran peruntukan penyelenggaraan untuk tujuan membaiki kerosakan di bawah kecemasan akan disalurkan kepada JPWPKL dan JPNS dengan kadar segera.\nJPWPKL, JPNS dan PPD akan melaksanakan kerja pembaikan serta pembersihan segera bagi membolehkan sesi pengajaran dan pembelajaran diteruskan tanpa sebarang gangguan. KPM sentiasa mengambil berat perkara berkaitan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan seluruh warganya." "Peluang Bertemu dengan Editor Majalah DBP di PBAKL 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023, Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mengadakan program \u201cSembang Editor Majalah (SEM)\u201d di Dewan Tun Razak 3, Aras 3, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada 29 Mei 2023, pukul 11.00 pagi. \nProgram yang berkonsepkan santai tersebut akan menampilkan barisan sidang editor daripada 11 majalah terbitan DBP seperti Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, Dewan Bahasa, Dewan Ekonomi, Dewan Budaya, Dewan Kosmik, Dewan Tamadun Islam, Pelita Bahasa,\u00a0Tunas Cipta, Dewan Siswa dan Dewan Pelajar.\nSepanjang program tersebut berlangsung, pengunjung boleh mendapatkan maklumat dan panduan berkaitan dengan penghantaran karya secara bercetak mahupun secara dalam talian, iaitu JendelaDBP yang akan disampaikan oleh para editor majalah. \nSelain berpeluang beramah mesra dengan barisan sidang editor Bahagian Majalah, pengunjung juga berpeluang untuk menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disediakan seperti aktiviti Kotak Misteri Majalah, aktiviti mewarna dan sesi swafoto bersama-sama sidang editor. \nSelain program \u201cSEM\u201d, pengunjung juga boleh mendapatkan buku dan majalah terbitan DBP dengan harga yang menarik di reruai DBP sepanjang PBAKL 2023 berlangsung." "Hari Belia Negara: Ini Masa Kita\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBermula tahun 2019, belia\u00a0 di Malaysia didefinisikan sebagai anak muda yang berusia tidak lebih daripada 30 tahun. Sebelum tahun 2019, had umur belia di negara ini adalah sehingga berusia 40 tahun.\u00a0\nHal itu dinyatakan menerusi Rang Undang-undang Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 yang bertujuan untuk menurunkan had umur dalam takrif belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun. Pindaan itu pada akhirnya diluluskan oleh Dewan Negara pada Julai 2014, selepas sebanyak 14 orang Senator\u00a0 mengambil bahagian dalam sesi perbahasaan.\u00a0\nSehingga tahun 2022, jumlah belia yang berusia 15 tahun hingga 30 tahun di negara ini mencecah 7.8 juta orang daripada keseluruhan rakyat Malaysia yang berjumlah 32.7 juta orang. Jumlah itu sudah cukup besar untuk menunjukkan akan kepentingan golongan ini kepada negara.\u00a0\nMaka itu, terlalu banyak perbincangan dan perdebatan berhubung dengan peranan penting belia di negara ini dianjurkan sebagai usaha memastikan peranan belia sebagai pemacu pertumbuhan negara terus diperkukuh.\u00a0\nSultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, pernah bertitah bahawa belia wajar diasuh, dididik, dibimbing dan diberikan kepercayaan untuk mengambil tanggungjawab yang lebih besar dalam agenda membina negara.\u00a0\nTiada yang menafikan bahawa golongan belia ialah aset yang\u00a0 menjadi penentu masa hadapan sesuatu masyarakat dan negara. Dalam hal ini, pentingnya belia bukan sahaja terletak kepada jumlah mereka dan sebagai tenaga utama dalam masyarakat, tetapi dari segi peranan mereka sebagai penyambung antara satu generasi dengan satu generasi yang mendatang.\u00a0\nSejak kemerdekaan, belia negara telah mengambil berperanan yang penting dalam menyumbang kepada proses pembinaan dan pembangunan negara. Sumbangan ini meliputi segala aspek baik dari segi politik, ekonomi, sosial, budaya atau pendidikan. Hal ini dikatakan demikian kerana belia merupakan asas sebenar atau tulang belakang kepada keutuhan dan kekuatan negara ini.\u00a0\nMaka itu, sebagai menghargai dan mengangkat sumbangan belia kepada negara, tarikh 15 Mei pada setiap tahun dipilih sebagai Hari Belia Negara yang bertujuan untuk memberikan pengiktirafan tertinggi negara kepada anak muda Malaysia.\u00a0\nSelain pelbagai program dan sambutan Hari Belia Negara yang diadakan pada peringkat agensi dan negeri, pada 19 Mei 2023, banyak masjid turut mengangkat peranan belia ke dalam teks khutbah Jumaat. Selain itu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, juga turut memperkenan golongan belia di Perak diberi penghormatan membaca khutbah Jumaat di beberapa buah masjid bersempena dengan sambutan Hari Belia Negara. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Mohd Annuar Zaini, dalam kenyataannya berkata perkenan itu adalah bagi mengiktiraf peranan penting generasi berkenaan kepada negara.\n\u201cBaginda telah menitahkan supaya khutbah Jumaat di negeri Perak pada 19 Mei 2023 bertemakan \u2018Belia Pewaris Negara Bangsa\u2019,\u201d ujar beliau.\u00a0\nSementara itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan turut menghebahkan teks Khutbah Jumaat bertajuk \u201cBelia Permata Negara\u201d yang dibaca pada 19 Mei 2023 yang menjelaskan bahawa belia merupakan generasi yang amat penting dan menjadi aset bernilai\u00a0 kepada negara. Kekuatan dan potensi mereka dalam membangunkan serta\u00a0 memacu kemajuan negara tidak dapat dinafikan.\u00a0\nMemasuki era cabaran baharu dunia moden kini khususnya Revolusi\u00a0 Industri 4.0, para belia harus menyedari bahawa perkembangan teknologi\u00a0 seperti Kecerdasan Buatan (AI), kemajuan Internet Benda (IoT) dan\u00a0 penggunaan robotik sedang mengambil alih sebahagian peranan manusia. Maka itu, generasi belia harus bersiap sedia menghadapinya dengan menerokai\u00a0 pelbagai ilmu, mempelajari kemahiran yang sesuai dengan kehendak\u00a0 semasa, bersikap positif terhadap perubahan zaman dan memiliki sahsiah\u00a0 yang mulia di samping memperkukuhkan keimanan agar tidak hanyut dalam\u00a0 kelekaan sehingga tergelincir daripada petunjuk agama.\u00a0\u00a0\n\u00a0Oleh itu, semua pihak sama ada kerajaan mahupun bukan kerajaan, ibu bapa\u00a0 mahupun masyarakat harus berganding bahu memainkan peranan dan\u00a0 tanggungjawab agar dapat membina jati diri dan modal insan para belia\u00a0 permata negara.\nInti pati teks Khutbah Jumaat itu juga mengingatkan bahawa perkara utama yang harus dititik beratkan adalah pembangunan ilmu\u00a0 pengetahuan sama ada bersifat ukhrawi mahupun duniawi. Ilmu ialah asas\u00a0 petunjuk kepada kebenaran bagi mencapai kesejahteraan hidup manusia. Hal ini menjadi kayu ukur sama ada sesuatu perkara yang dilakukan seseorang\u00a0 itu benar atau salah. Oleh itu, para belia mestilah bersungguh-sungguh\u00a0 mencari ilmu pengetahuan sebagai pedoman kehidupan di dunia untuk\u00a0 mencapai kebahagiaan di akhirat. Dalam masa yang sama, pelbagai\u00a0 kemahiran mestilah diterokai oleh para belia seperti keusahawanan,\u00a0 kepimpinan, teknologi dan sebagainya.\u00a0\nTidak dinafikan, banyak cabaran\u00a0 yang harus dihadapi pada usia belia, iaitu sama ada berpunca daripada\u00a0 ancaman dan anasir luar atau disebabkan juga oleh kelemahan diri.\u00a0 Sains dan teknologi tidak seharusnya disalahkan tetapi teknologi itu sewajarnya dilihat sebagai pemacu dalam kemajuan diri, bangsa dan negara.\u00a0\nPada hakikatnya, sains dan teknologi berkembang di seluruh dunia dan tidak ada mana-mana negara maju yang menafikan bahawa teknologi menjadi penggerak utama kemajuan mereka. Percayalah bahawa belia yang menolak kemajuan teknologi tidak akan mampu bersaing apatah lagi ke peringkat antarabangsa. Bermusuh dengan teknologi hanya akan merugikan kita, sedangkan belia di serata dunia telah membuktikan bahawa mereka mampu meraih kejayaan, malah banyak dalam kalangan belia yang bergelar jutawan hanya dengan bermodalkan sains dan \u00a0teknologi secara dalam talian.\nSelain itu, yang turut disentuh ialah Aspek kesihatan jasmani dan mental juga amat penting bagi\u00a0 seseorang belia. Pada usia muda, mereka mestilah mengamalkan\u00a0 pemakanan yang halal lagi baik dan menyihatkan, melakukan aktiviti\u00a0 senaman, menjauhkan diri daripada arak dan dadah, mengurus emosi\u00a0 dengan baik dan mengelakkan perkara yang boleh menyebabkan tekanan\u00a0 hidup. Inilah gaya hidup yang mesti diamalkan bagi menjamin kesejahteraan\u00a0 dan kehidupan.\u00a0\nBertemakan \u201cIni Masa Kita\u201c, sambutan Hari Belia Negara 2023\u00a0 mengingatkan belia di negara ini betapa berharganya masa muda yang perlu\u00a0 dimanfaatkan dengan sebaik-baik mungkin. Hal ini dikatakan kerana masa muda inilah waktu yang terbaik\u00a0 untuk belia di negara kita tampil melalui pelbagai ruang dan peluang yang\u00a0 ada bagi bersama-sama menyumbang ke arah kemajuan negara.\u00a0\n\nSementara itu, Perdana Menteri Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim dalam rakaman ucapan video bersempena dengan Hari Belia Negara 2023, mengingkatkan bahawa\u00a0 sambutan Hari Belia Negara 2023 bukanlah sekadar sambutan biasa, sebaliknya memberi lonjakan semangat dan ruang kepada anak muda Malaysia untuk bersuara dengan lebih berkesan. Tambah Perdana Menteri lagi, sambutan itu juga\u00a0mengingatkan golongan berkenaan bahawa mereka ialah pemimpin kini dan masa depan.\nHari Belia Negara merupakan\u00a0 kesempatan mengangkat semula martabat belia, mengingatkan mereka bahawa mereka ialah\u00a0 pemimpin kini dan masa hadapan, serta memberi ruang untuk mengemukakan masalah kepada pihak yang bertanggungjawab\u00a0\n\u201cSebagai anak muda, kita punya tanggungjawab, kita kena berfikir, menilai, kita harus sedar bahawa untuk jadi manusia yang berguna kepada keluarga dan negara, kita harus mulakan dengan persiapan keyakinan, ilmu, amal dan tindakan,\u201c ucap Perdana Menteri.\u00a0\nHari Belia Negara yang disambut pada 15 Mei setiap tahun merupakan satu pengiktirafan tertinggi negara kepada anak muda Malaysia. Sambutan peringkat kebangsaan pada tahun ini akan diadakan pada 28 Mei 2023, di Padang Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, Negeri Sembilan.\nPeranan belia Malaysia menjadi tumpuan besar pada tahun 2022 apabila golongan itu, khususnya yang berusia 18 tahun diberikan hak untuk mengundi buat pertama kalinya setelah kerajaan melaksanakan undi 18. Dalam Pilihan Raya Umum ke-15, sebanyak 1.2 juta orang pengundi merupakan pengundi muda yang berusia 18 tahun hingga 20 tahun. Penurunan had umur mengundi itu juga bukan sahaja mencatat sejarah dalam sistem demokrasi negara, malah membuka lembaran baharu dalam landskap politik negara yang menyaksikan kelompok umur 18 tahun ini diberikan hak mengundi buat pertama kali. Kini, belia bukan sahaja menjadi penyambung kemajuan dan pembentukan negara, tetapi penentu landskap politik negara." "Dato\u2019 Hajah Daharah Ismail Dipilih sebagai Tokoh LKPIM Kedah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSetiausaha kehormat pertubahan LKPIM, Puan Sharifah Maisarah Syed Mohamad berkata:" "Persidangan Penterjemahan Antarabangsa (PPA) Ke-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGombak \u2013 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada 22 Mei 2023 memaklumkan bahawa Persidangan Penterjemahan Antarabangsa (PPA) Ke-19 akan berlangsung selama tiga hari mulai 24 hingga 26 Mei 2023, di Swiss Garden Hotel, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.\nTema persidangan ialah \u201cPenterjemahan Global Untuk Kesejahteraan Sejagat\u201d\nTuan rumah bagi PPA-19 pada kali ini ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.\nPenganjur bersama PPA-19 terdiri daripada Penerbit UIAM dan Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Jabatan Perpustakaan dan Sains Maklumat (DLIS), UIAM.\nPembentangan: Sebanyak empat kertas dasar, lima kertas plenari dan 32 kertas kerja dalam sidang selari akan dibentangkan dalam persidangan ini.\nLatar Belakang\nPersidangan Penterjemahan Antarabangsa yang juga dikenali sebagai International Conference on Translation (ICT) pertama kali dianjurkan pada tahun 1984 dengan inisiatif Persatuan Penterjemah Malaysia serta Dewan Bahasa dan Pustaka atas kesedaran terhadap peri pentingnya penterjemahan sebagai wahana dalam usaha pemindahan ilmu yang utama bagi membina kemajuan negara dan bangsa. PPA merupakan mercu tanda yang dikenali oleh semua pihak yang terlibat dalam bidang penterjemahan, bukan sahaja di Malaysia tetapi pada peringkat antarabangsa. Persidangan dwitahunan ini merupakan satu-satunya persidangan penterjemahan yang dianjurkan di Malaysia untuk semua pihak yang terlibat dalam bidang dan industri penterjemahan, termasuklah ahli akademik, pengamal, penyelidik dan pelajar. UIAM menjadi tuan rumah persidangan dwitahunan ini dengan sokongan penganjur bersama: PPM, DBP, ITBM dan DLIS, UIAM.\nObjektif\nPembentangan kertas dasar dan kertas plenari adalah seperti berikut:\nKERTAS DASAR 1\nProf. Emeritus Tan Sri Dato\u2019 Dzulkifli Abdul Razak Rektor, Rektor UIAM.\nTajuk: \u201cPenterjemahan Global untuk Kesejahteraan Sejagat\u201d\nKERTAS DASAR 2\nDr. Hasuria Che Omar, Timbalan Presiden, Persatuan Penterjemahan Malaysia.\nTajuk: \u201cKerangka Pentauliahan Penterjemah di Malaysia\u201d\nKERTAS DASAR 3\nEncik Sakri Abdullah, Pengarah Urusan, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).\nTajuk: \u201cPeranan Terjemahan dalam Menyemarakkan Budaya Ilmu\u201d\nKERTAS DASAR 4\nDr. Hazami Jahari Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nTajuk: \u201cKandungan Tempatan ke Persada Dunia Melalui Penterjemahan\u201d\nKERTAS PLENARI 1\nProf. Dr. Ahmad Faris Ismail, Timbalan Rektor (Akademik & Pengantarabangsaan), UIAM.\nTajuk: \u201cNew Challenges Facing Global Translation\u201d\nKERTAS PLENARI 2\nProf. Dr. Mohammed Zeki Khedher, Presiden, Institut Pengkomputeran Antarabangsa untuk Quran dan Sains, mantan Professor di Mosul University dan Jordan University.\nTajuk: \u201cMachine Translation in the Service of Islamic Sources\u201d\nKERTAS PLENARI 3\nProfessor Claudia V. Angelelli, Pengerusi Kepelbagaian Bahasa dan Komunikasi, Herriot-Watt University, Edinburgh, United Kingdom.\nTajuk: \u201cEthics in Translation\u201d\nKERTAS PLENARI 4\nMs. Alison Rodriguez Presiden Persekutuan Penterjemah Antarabangsa International Federation of Translation (FIT) Perancis\nTajuk: \u201cNarratives vs New ChatGPT: Necessary or Just \u2018nice to have\u2019?\u201d\nKERTAS PLENARI 5\nProf. Dr. Omar Hasan Kasule Ketua Setiausaha Institut Pemikiran Islam Antarabangsa / International Institute of Islamic Thought (IIIT)\nTajuk: \u201cHigher Objectives and Challenges of Translation\u201d\nSekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan persidangan ini bolehlah menghubungi Encik Roosfa Hashim Pengarah PPA-19 melalui e-mel [email\u00a0protected] atau melalui talian 016-6286925." "UiTM Cawangan Kedah dan Universiti Indonesia Menyertai Program Membersihkan Kawasan Pantai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "KPM: Kalendar Akademik Persekolahan Kembali Bermula Januari\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah merancang untuk mengembalikan kalendar akademik persekolahan pada Januari 2026.\nPertimbangan daripada pihak KPM ini berdasarkan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 yang telah menetapkan bahawa jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik termaktub tidak kurang daripada 190 hari.\nPenjajaran kalendar akademik ini dilakukan kepada jadual peperiksaan awam agar selari dengan perubahan kalendar akademik persekolahan yang akan dilaksanakan bermula sesi 2024/2025 pada Mac 2024.\nDalam kenyataan media pada pagi ini, KPM telah meneliti cadangan untuk mengembalikan kalendar akademik persekolahan kepada Januari seperti sebelum ini.\nPenelitian ini turut melihat kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum.\nMenerusi perancangan ini, KPM sentiasa memastikan kesejahteraan semua pihak diberi keutamaan mencapai hasrat Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera." "Persidangan Antarabangsa Penterjemahan Ke-19: Sembilan Buku Terjemahan Dilancarkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sembilan buku berkaitan terjemahan dilancarkan bersempena perasmian Persidangan Antarabangsa Penterjemahan Ke-19 pada hari ini. Pelancaran buku disempurnakan oleh YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato\u2019 Dzulkifli Abdul Razak, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Buku-buku tersebut diterbitkan oleh IIUM Press, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan PTS Media Group.\nYBhg. Tan Sri Dato\u2019 Dzulkifli Abdul Razak dalam ucapan pelancarannya berkata dua buah buku berjudul Dilema Ahli Psikologi Islam dan Makna Anak Allah terhasil daripada projek buku terjemahan di IIUM Press. Manakala buku Penterjemahan di Malaysia adalah kumpulan kertas kerja seminar penterjemahan kebangsaan yang diadakan pada 2021.\nPenerbitan buku ini juga suatu hasil seminar tersebut yang amat berharga.\nBuku berjudul Mengenali Ekonomi Menerusi Kartun Jilid 1 dan buku Mengenali Ekonomi Menerusi Kartun Jilid 2 adalah buku yang dihasilkan daripada penerbitan bersama, iaitu antara IIUM Press dengan ITBM. Menurut YBhg. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, penerbitan buku ini merupakan suatu contoh perkongsian pintar yang diwujudkan antara IIUM Press dengan ITBM yang patut digalakkan.\nSelain dapat menjimatkan kos penerbitan, kerjasama ini juga dapat mempercepat penerbitan buku terjemahan supaya ilmu pengetahuan segera sampai kepada pembaca yang dahagakan ilmu pengetahuan.\nDua buah buku terbitan DBP yang akan dilancarkan pula merupakan buku yang memperkatakan tentang penterjemahan, iaitu buku penterjemahan Struktur Bahasa Asing dalam Bahasa Melayu dan buku Kaedah, Teknik dan Fenomena Terjemahan Bahasa Cina \u2013 Bahasa Melayu kedua-duanya buku ini amat diperlukan oleh golongan profesional dalam bidang penterjemahan.\nBuku terjemahan terbitan penerbit PTS Media Group, iaitu The 10 Habits of Happy Mothers dan Think and Grow Rich adalah buku berbentuk motivasi yang sangat penting dibaca oleh rakyat negara ini." "INTURA Anjurkan Seminar Bijak Tangani Penipu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani\u00a0\u2013 \u201cPada zaman ini, tidak semestinya orang yang cerdik dan berilmu itu baik budi bahasanya, ada kalanya, mereka juga merupakan penipu yang hebat dan sanggup memperdayakan orang lain tanpa mengenal erti jemu dan bosan. Apa yang penting, sentiasalah berhati-hati daripada menjadi mangsa jenayah.\u201d\u00a0Begitulah kata-kata Encik Kamal Affendi Hashim sewaktu menyampaikan ceramah anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Utara (INTURA).\nSebanyak 260 orang kakitangan sektor awam di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, telah mengikuti seminar Executive Lecture Series yang bertajuk \u201cScammer: Anda Terjerat atau Dijerat\u201d di Dewan Jubli Perak, INTURA, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah, semalam.\nProgram ini merupakan anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Utara (INTURA). Dalam seminar tersebut, peserta berpeluang mendengar ceramah selama tiga jam yang disampaikan oleh fasilitator dan penganalisis jenayah yang tidak asing lagi di negara ini, iaitu Encik Kamal Affendi Hashim.\nPenyelaras program ini, Encik Muhammad Fahmi Mahmud berkata, inilah kali pertama ceramah tentang \u201cscammer\u201d atau \u201cpenipu\u201d ini disampaikan kepada kakitangan sektor awam di kawasan utara.\nMenurutnya lagi:\nKehadiran peserta termasuklah bakal pesara yang mengikuti seminar ini begitu baik sekali. Mereka dapat bertanyakan pelbagai soalan berkaitan \u2018scammer\u2019 atau \u2018penipu\u2019 kepada penceramah tersebut, dan rata-rata peserta memperoleh ilmu baharu berkaitan dengan gelagat penipu yang ada di mana-mana sahaja.\nSebelum itu, Encik Kamal Affendi Hashim ketika menyampaikan ceramahnya berkata, kebanyakan mangsa yang membuat aduan di balai polis, hanya mengharapkan wang yang hilang dapat dikembalikan sahaja.\nMenurutnya lagi:\nPenipu yang terdiri daripada orang kulit hitam dan orang kulit putih ini telah diberikan latihan yang sistematik, iaitu untuk memujuk, merayu dan mengeluarkan kata-kata yang manis.\nEncik Kamal Affendi juga menyeru agar masyarakat diberikan pendedahan dan kaunseling dalam menangani isu penipuan ini. Seminar yang dianjurkan oleh INTURA ini menunjukkan keprihatinan INTURA dalam mengelakkan kakitangan kerajaan terjebak daripada menjadi mangsa penipuan." "Jaringan Strategik Universiti-Industri Memperkukuh Kecemerlangan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJaringan strategik merupakan bentuk kerjasama yang boleh dimanfaatkan oleh industri, khususnya gerakan koperasi sebagai sektor ataupun industri ketiga negara dalam usaha memperkukuh keupayaan. Rakan strategik yang boleh dimanfaatkan antaranya termasuklah universiti, agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta badan bukan kerajaan.\nSalah satu bentuk kerjasama strategik yang kebiasaannya dijalankan oleh universiti dan industri melibatkan penempatan pelajar untuk latihan industri. Hal ini merupakan satu usaha untuk melahirkan graduan berpengetahuan, berinovatif serta mempunyai kebolehan kognitif tinggi dan dapat mengaplikasikan ilmu dalam dunia pekerjaan sebenar. Hal ini selaras dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang meletakkan kebolehpasaran graduan sebagai agenda kritikal yang perlu dilaksanakan supaya mencapai sasaran yang telah ditetapkan, iaitu sekurang-kurangnya 75 peratus graduan akan memperoleh pekerjaan yang sesuai dengan kelayakannya dalam tempoh enam bulan setelah menamatkan pengajian.\nSelain penempatan latihan industri, antara kerjasama yang boleh dijalankan melalui jaringan strategik ini termasuklah bengkel dan seminar kepakaran, ceramah motivasi, lawatan ke pusat industri dan latihan praktikal di industri, program sangkutan atau peminjaman kepakaran kakitangan fakulti ke industri dan sebaliknya, sangkutan pelajar, kakitangan fakulti sebagai penceramah atau jurulatih oleh pihak industri atau agensi kerajaan, perundingan, penyelidikan, khidmat profesional, aktiviti tanggungjawab sosial, kepakaran, penajaan sepert kemudahan, ruang rehat, dan lain-lain (industri dibenarkan meletakkan nama syarikat pada alat yang ditaja), serta biasiswa ataupun tajaan pelajar.\nBagi memperoleh keupayaan dan mentransformasikan kepakaran universiti khususnya dalam bidang kemahiran keusahawanan kepada gerakan koperasi, ANGKASA telah mengambil inisiatif menubuhkan ANGKASA-UMK Research Academy (AURA) pada tahun 2020 dengan matlamat utama untuk menjadikan AURA sebagai pusat rujukan dan kecemerlangan koperasi. Sebagai pusat kecemerlangan, AURA akan menjadi pusat pengembangan ilmu koperasi yang menggabungkan kepakaran dan kemahiran yang asli dan rintis bagi memberikan kepimpinan ilmu dalam bentuk penggubalan dasar dan inovasi yang memberi impak kepada kemajuan dan kelestarian koperasi di negara ini. Usaha ini penting agar gerakan koperasi di negara ini relevan dengan keadaan semasa dan dapat memberikan sumbangan yang berkesan kepada pembangunan masyarakat, komuniti dan negara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.\n\nPenubuhan AURA penting untuk pembangunan koperasi khususnya dalam bidang kepimpinan, keusahawanan dan penyelidikan selaras dengan aspirasi nasional untuk memperkasakan lagi kerjasama strategik antara industri dan institusi pendidikan tinggi dalam pembangunan sosioekonomi negara. Kajian dalam bidang koperasi masih banyak yang belum diterokai sepenuhnya dan memerlukan kepakaran dan kerjasama daripada pihak universiti dan penyelidik profesional. Oleh hal yang demikian, melalui AURA kepakaran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebagai universiti keusahawanan negara akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan ini.\nDi pihak universiti pula, penubuhan AURA dapat meningkatkan sumbangan UMK dalam penyelidikan dan pendidikan khususnya keusahawanan koperasi sebagai satu daripada cabang keusahawanan sosial yang menjadi tonggak kegiatan akademik terutama penyelidikan dan inovasi. Sejajar dengan hal tersebut, AURA sedang bergerak ke arah untuk mencapai tahap yang disasarkan, melalui fungsi yang dijalankan antaranya dengan meningkatkan penyelidikan dalam bidang-bidang terpilih koperasi yang diperlukan masa kini.\nMelalui penajaan pendidikan, ANGKASA mengambil inisiatif dengan menaja tiga orang pelajar menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah di UMK dalam bidang yang mempunyai kepentingan untuk ANGKASA dan gerakan koperasi. Selain itu, buat masa sekarang AURA sedang mengadakan perbincangan lebih lanjut bersama pihak UMK untuk melaksanakan kajian kes mengenai koperasi kariah masjid. Kajian ini, dijalankan melalui kerjasama antara AURA dan ANGKASA. Usaha ini dilakukan bagi meningkatkan lagi kajian dalam bidang koperasi yang mana penemuannya boleh digunakan untuk pembangunan koperasi dengan lebih berkesan pada masa hadapan.\nDi peringkat kebangsaan dan antarabangsa, pihak AURA telah menghantar cadangan- permohonan penyelidikan ke beberapa buah universiti seperti Universiti Kebangsaan Malaysia, Universitas Mercu Buana, Jogjakarta Indonesia dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mendapat geran penyelidikan bagi mewujudkan jaringan atau kolaborasi penyelidikan sama ada di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan memberikan fokus terhadap kerjasama penyelidikan di peringkat negara ASEAN.\nPenyelidikan merupakan kriteria utama yang perlu dipenuhi AURA dalam meletakkannya sebagai pusat kecemerlangan koperasi dengan mempunyai kepakaran penyelidikan multi-disiplin dalam bidang koperasi yang dikenal pasti ANGKASA/AURA yang berkualiti tinggi, beriltizam dan berterusan. Dalam konteks ini, gandingan industri (ANGKASA/koperasi), universiti (UMK) dan agensi (Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) / Institut Koperasi Malaysia (IKMa)) mampu memberikan impak besar kepada penemuan-penemuan baharu yang boleh memberikan kesan besar kepada kemajuan dan perubahan landskap gerakan koperasi negara ini.\nAURA akan mempergiat usaha penyelidikan dalam bidang koperasi yang menjadi teras utama dan berusaha mendapatkan geran-geran yang lebih baik pada masa hadapan bagi menampung segala kos pentadbiran di samping menjana pendapatan. Geran-geran berfokuskan sumber tertentu seperti kerajaan, agensi di dalam dan luar negara bagi menjayakan program penyelidikan. Fokus penyelidikan pada bidang yang ada kewajaran untuk gerakan koperasi, masyarakat dan negara serta boleh dikomersialkan bagi menjana pendapatan AURA.\nMelalui AURA, ANGKASA telah berjaya memperoleh geran di bawah Program Penjana KPT-CAP (Career Advancement Programme) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi untuk melatih 50 orang lepasan graduan UMK yang belum mendapat pekerjaan sebagai usahawan koperasi dan dianugerahkan Sijil Pengurusan Profesional Koperasi. Program selama seminggu ini, bertujuan menyediakan peserta yang mempunyai kompetensi sebagai usahawan koperasi berdaya saing dan inovasi.\nKompetensi yang berkualiti ini membawa ke arah kelestarian koperasi sebagai pemacu kepada ekonomi masyarakat setempat, malahan menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara. Hal ini selari dengan Pelan transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025 (TransKom) yang menjadi paksi transformasi kepada gerakan koperasi di Malaysia yang menggariskan sebanyak lima bidang tujahan, 20 langkah strategik dan 36 program serta aktiviti ke arah koperasi yang lebih progresif dan berdaya saing. Pelan ini juga dirangka selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama agar dapat memperhebat peranan koperasi sebagai institusi yang dapat memberikan nilai tambah kepada aktiviti perekonomian dan pada yang sama memenuhi keperluan anggota.\nBagi memastikan program ini memenuhi objektif yang dicadangkan, kaedah pelaksanaan program ini menggabungkan pendekatan seperti Latihan Keusahawanan dan Inovasi, Bimbingan (Coaching), Pembelajaran Keusahawanan Berasaskan Pengalaman (Experiential Entrepreneurial Learning\u2013mempraktikkan perniagaan). Program ini akan menggunakan kaedah R (reflection), E (enterprise), M (Managing Enterprise), O (Operation), D (Development Enterprise), dan E (Evaluation and sustainability) atau dikenali sebagai REMODE.\nDari segi kepimpinan dan kelestarian modal insan, AURA telah mengenal pasti kepimpinan dan ahli penyelidik yang akan berada di pusat kecemerlangan ini sama ada daripada pihak UMK, ANGKASA, IKMa dan pihak luar. Bagi kepimpinan, AURA telah pun diterajui oleh pengurusan tertinggi ANGKASA dan UMK yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing bersesuaian dengan keperluan koperasi. AURA yang beribu pejabat di UMK, Pengkalan Chepa\u00a0 juga mempunyai pengarah, dua orang felow bersekutu dan tiga orang pembantu tadbir. UMK telah mewujudkan pejabat AURA yang telah beroperasi sepenuhnya.\nSelain menjalankan fungsi penyelidikan bidang koperasi, AURA juga akan menyediakan platform kepada pengurusan ANGKASA dan agensi pembangunan koperasi untuk melanjutkan pelajaran di peringkat PhD dalam bidang koperasi; melaksanakan latihan yang berkaitan kepimpinan, keusahawanan dan inovasi koperasi; melaksanakan program \u2018Training of Trainers (TOT) untuk pegawai ANGKASA dalam bidang keusahawanan dan inovasi; sebagai perunding kepada ANGKASA untuk bidang keusahawanan koperasi dan pembangunan data raya sektor koperasi; menganjurkan seminar dan konvensyen bertaraf nasional dan antarabangsa berkaitan keusahawanan koperasi; dan lain-lain program atau projek yang ditentukan dari semasa ke semasa.\nPada masa ini, ANGKASA telah menaja tiga orang ahli pengurusan menyambung pengajian di peringkat PhD dalam bidang koperasi. Atas dasar menyokong usaha Kementerian Pengajian Tinggi dan universiti dalam pembangunan modal insan negara, ANGKASA telah membuka pintu kepada pelajar universiti dalam pelbagai bidang untuk menjalani latihan industri. Setiap tahun, 100 tempat disediakan untuk pelajar menjalani latihan industri.\nMenjadi harapan AURA untuk muncul sebagai pusat kecemerlangan koperasi yang unggul berteraskan penyelidikan dan berfungsi sebagai pemangkin kelestarian gerakan koperasi di negara ini." "Kegiatan Bahasa dalam Dikir Barat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDikir barat ialah persembahan kebudayaan yang tidak asing di Malaysia amnya dan di Kelantan khususnya. Walaupun lebih dikenali sebagai suatu bentuk persembahan, dikir barat sebenarnya ialah suatu peristiwa komunikasi. Peristiwa komunikasi ialah kegiatan bahasa yang melibatkan latar, peserta, matlamat, urutan tindakan, nada, saluran, norma dan genre (SPEAKING). Kegiatan bahasa ini boleh difahami dengan menggunakan Teori Etnografi Komunikasi.\nMenerusi Teori Etnografi Komunikasi, beberapa perkara dapat dijelaskan. Maklumat yang terdapat dalam teori ini dapat menerangkan tingkah laku komunikatif, iaitu menghuraikan dan menganalisis suatu pola komunikasi. Antaranya termasuklah mengenali peristiwa yang berulang-ulang, mengenali komponen yang menonjol dan menemukan hubungan antara komponen dengan peristiwa itu dengan aspek lain masyarakat.\nKegiatan bahasa dalam dikir barat dari aspek latar merujuk latar waktu dan latar tempat peristiwa komunikasi. Kepelbagaian latar wujud dalam lagu dikir barat berdasarkan situasi dan latar belakang dalam sesebuah budaya. Situasi ialah suasana atau keadaan peristiwa komunikasi yang wujud semasa berkomunikasi, seperti situasi formal, tidak formal, serius dan santai.\nLatar komunikasi dikir barat kebiasaannya ialah negeri Kelantan. Dikir barat wujud dalam kalangan masyarakat biasa di kampung dan pinggir bandar. Pada zaman dahulu, persembahan dikir barat bertemakan kehidupan seharian yang kebiasaannya menitikberatkan unsur lucu. Kini persembahan dikir barat berubah mengikut perkembangan semasa. Dalam hal ini, tema dan konsep persembahan dikir barat banyak berkisar pada isu politik, ekonomi, pembangunan, pendidikan dan masalah sosial dalam kehidupan masyarakat sejagat.\nPada kebiasaannya, dikir barat dipersembahkan pada musim menuai, majlis perkahwinan, berkhatan dan majlis keramaian. Namun begitu, pada masa ini, dikir barat dijadikan sebagai platform untuk memperlihatkan kehebatan seni tradisional melalui pertandingan yang dianjurkan pada peringkat kampung, kebangsaan dan antarabangsa.\nKegiatan bahasa yang merujuk peserta dikir barat terdiri daripada juara, tukang karut, awak-awak, pemuzik dan penonton. Juara ialah penyanyi yang memulakan lagu persembahan yang juga dikenali sebagai tok juara. Pada kebiasaannya, tok juara duduk sebaris dengan pemain muzik. Tok juara memulakan lagu dengan caranya yang tersendiri dan menyampaikannya secara berjela-jela. Keadaan ini dapat meningkatkan semangat ahli pasukan untuk mempamerkan persembahan yang menarik dan bersemangat.\nTukang karut pula ialah individu atau penyanyi yang paling penting dalam persembahan. Tukang karut mestilah mempunyai kelebihan dan kemahiran mengolah idea supaya idea tersebut tersusun menjadi pantun yang tepat yang disampaikan dengan spontan.\nAwak-awak berperanan menyanyikan korus yang disampaikan secara serentak mengikut tok juara dan tukang karut. Terdapat dua peranan awak-awak, iaitu menyanyi beramai-ramai dan bertepuk tangan. Kehebatan dan kemenangan awak-awak bergantung pada keharmonian dan kepaduan suara awak-awak ketika bernyanyi bersama-sama. Awak-awak biasanya terdiri daripada lima belas orang hingga dua puluh lima orang.\nPemuzik pula terdiri daripada pemain gong, pemain rebana ubi, pemain rebana anak, pemain canang dan pemain marakas. Penonton terdiri daripada pelbagai lapisan umur. Setiap peserta mempunyai peranan yang berbeza yang mempengaruhi bahasa dan pola komunikasi.\nPengiriman maklumat atau pemikiran mempunyai matlamat atau tujuan tertentu yang mencerminkan satu lagi kegiatan bahasa. Kebiasaannya, penyampaian maklumat untuk mengajak dan memujuk penonton supaya mengubah sikap, perilaku atau menunjuk ke arah sesuatu. Satu-satu peristiwa komunikasi itu tidak semestinya mempunyai satu matlamat atau tujuan sahaja. Beberapa matlamat mungkin bergabung dan digunakan secara serentak.\nTerdapat beberapa tujuan atau matlamat yang sama antara beberapa lagu dikir barat. Semua lagu dikir barat ini mempunyai matlamat untuk memberikan nasihat kepada pendengar atau penonton supaya mengambil iktibar daripada perkara yang disampaikan. Penggunaan istilah, frasa dan ayat yang melatari komunikasi dan membentuk isi kandungan mencerminkan hasil tujuan peserta yang terlibat bagi memenuhi tujuan setiap komunikasi.\nSeterusnya, kegiatan bahasa yang meliputi aksi urutan merujuk bentuk mesej, isi kandungan mesej dan urutan mesej tentang sesuatu yang diperkatakan oleh peserta. Aksi urutan boleh dalam bentuk kata sahaja atau pada tahap kandungan topik yang dibincangkan atau pertukaran topik dan berperanan penting dalam menentukan tahap signifikan lagu dikir barat dengan pemikiran penonton.\nRagam pula ialah kegiatan bahasa yang melibatkan nada yang dibawa oleh peserta dalam dikir barat. Ragam dapat memperlihatkan reaksi peserta, sama ada komunikasi itu berbentuk biasa, marah, seronok, cemas, sedih atau sebagainya. Bahasa bukan verbal memang wujud dalam dikir barat dan berlaku serentak dengan bahasa verbal, seperti gerakan tangan peserta dikir barat, terutamanya oleh awak-awak, seperti tepukan dan tarian.\nSelain itu, kegiatan bahasa dalam dikir barat turut terdiri daripada komponen alat. Menerusi komponen ini, saluran bahasa tersebut disampaikan, sama ada secara lisan, bertulis, atau bentuk ujaran yang dipilih oleh peserta, seperti bahasa, kod, dialek, gaya pertuturan atau laras. Dalam kebanyakan lagu dikir barat, dapat dilihat bahawa peserta menggunakan pelbagai bentuk bahasa yang gramatis untuk menyampaikan maklumat yang sebahagian besarnya berbentuk nasihat.\nNorma interaksi dan norma pentafsiran dalam dikir barat pula menunjukkan wujudnya kegiatan bahasa dalam aspek peraturan bahasa kerana dalam setiap interaksi sosial manusia, sudah pasti terdapat norma tertentu yang mengikat anggota masyarakat supaya tidak melakukan sesuatu perbuatan dengan sewenang-wenangnya. Secara khususnya, norma dalam interaksi bermaksud kelakuan yang khusus dan kesantunan dalam perbualan. Sehubungan dengan itu, didapati bahawa dikir barat mempunyai norma interaksinya yang tersendiri.\nSeterusnya, kegiatan bahasa yang melibatkan genre ialah suatu wahana terbaik untuk menyampaikan penerangan tentang sesuatu maklumat dari sudut linguistik. Penggunaan bahasa yang berbeza bergantung pada jenis peristiwa komunikasi. Setiap lagu dikir barat menggunakan kosa kata berbeza berdasarkan peristiwa komunikasi yang disampaikan.\nPeristiwa komunikasi dalam dikir barat berbeza daripada peristiwa komunikasi lain. Perbezaan ini telah dikesan daripada huraian etnografi komunikasi yang mengaplikasikan komponen SPEAKING. Setiap komponen yang berbeza ini berperanan dalam satu-satu komunikasi. Penghuraian semua faktor ini signifikan dengan penggunaan bahasa untuk melihat cara dikir barat mencapai tujuannya." "Jual Idea dan Identiti untuk Kelangsungan Penerbitan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Pemain industri perbukuan perlu menjual idea serta identiti masing-masing, dan bukannya hanya menjadikan platform media sosial untuk mencari keuntungan semata-mata.\nPandangan tersebut diutarakan oleh tiga ahli panel dalam program \u201cDialog Buku Negara 2023: Menjana Pendapatan Melalui Kandungan\u201c sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur kali ke-40 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), semalam.\nEncik Syamil Fahim (Ketua Pegawai Eksekutif Nu Eduktiv Sdn. Bhd.) menerangkan secara ringkas keterlibatan beliau dalam menterjemahkan kandungan dan bahan ilmu ke bentuk yang lebih dinamik dan relevan dengan keadaan semasa selain menjual buku semata-mata. Ujarnya,\nKita harus melihat perkembangan yang ada di sekeliling kita. Apa yang boleh dibuat dengan karya dan bahan bacaan yang ada selain menjualnya dengan bentuk buku? Perlu kenal produk dan proaktif serta tahu apa yang orang suka dengan bahan kita.\nSelanjutnya, ahli panel lainnya iaitu Encik Hafizul Faiz selaku seorang penulis juga berpandangan yang sama bahawa pasaran baharu sekarang bagi melangsungkan hayat perbukuan ialah melalui platform media sosial seperti Tik Tok. Namun begitu, platform tersebut hanyalah sebagai pasaran baharu semata-mata bagi memasarkan buku. Jelasnya,\nPergelutan sebenar dalam industri perbukuan ialah menjual nilai dan idea buku. Nilai dalam buku tidak akan mati. Media sosial hanyalah platform semata-mata.\nBerkenaan dengan nilai dan idea, ahli panel lainnya iaitu Encik Mior Hashim (Pengarah filem/pelakon), berpandangan bahawa pentingnya sebuah pemikiran yang boleh membangunkan tamadun bangsa dibentuk dalam kalangan individu yang terlibat dalam dunia kreatif. Beliau menjelaskan pengalamannya sendiri dalam dunia perfileman bagi mencari pemikiran tertentu yang boleh dibawa ke dalam masyarakat.\nJangan hanya mencari populariti semata-mata. Perlu buat karya yang boleh membangunkan negara, bangsa dan agama. Kalau tiada penulis yang boleh membangunkan pemikiran dan idea sebegitu, macam mana kita hendak lahirkan Sasterawan Negara yang seterusnya?\nDialog Buku Negara ini dijayakan oleh Persatuan Industri Buku Bumiputera Malaysia (PIBM). Turut hadir dalam dialog tersebut ialah Pengerusi Dialog Buku Negara, YBhg. Dato Hj. Mohd. Salleh Saidin, YBhg. Encik Nor Amin Ahmad, Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, dan YBhg. Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengerusi Pengelola Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur." "UniMAP Lahirkan Graduan yang Berinovasi: Pemangku Raja Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2013 \u201cUniversiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan sentiasa berusaha menawarkan sesuatu yang unik kepada pelajar, industri dan pemegang taruhnya.\u201d\nDengan pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan, adalah diyakini bahawa UniMAP akan terus mampu melahirkan graduan yang berupaya berdepan dengan cabaran revolusi perindustrian 4.0, antaranya termasuklah mempunyai minda usahawan, inovatif dan diperkasakan dengan nilai kemanusiaan yang holistik.\nDemikian titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri satu majlis makan malam yang dihoskan oleh universiti berkenaan di Pulau Langkawi, bersempena dengan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa (LIMA) 2023.\nPada program yang sama, DYMM Pemangku Raja Perlis turut berkenan meluangkan masa bertemu dengan Menteri Kerja Raya dan Pengangkutan negara Laos, Ngampasong Meuangmany dan berkongsi pengalaman hasil lawatan kerja Baginda mengetuai delegasi UniMAP ke Vientiane dan Luang Prabang, pada tahun lalu.\nKeberangkatan tiba Baginda yang juga merangkap Canselor UniMAP disambut oleh Naib Canselor UniMAP, iaitu YBhg. Profesor Datuk Dr. Zaliman Sauli.\nTurut hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Penyelidikan dan Antarabangsa) Encik Ahmad Rizal Adnan; Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat, Jabatan Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato\u2019 Mohd Sharil Abdullah; dan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat, Jabatan Pendidikan Tinggi, Encik Raymond Teoh." "Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) Kembali Lagi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini menyatakan bahawa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) tahun 2023 telah memasuki edisi ke-40 penganjurannya. PBAKL pada kali ini berlangsung pada 26 Mei hingga 4 Jun 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Majlis Perasmian PBAKL disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Seri Anwar bin lbrahim, pada 27 Mei 2023 (Sabtu), 2.30 petang di Pentas Utama, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.\nPenganjuran PBAKL penting dalam menyumbang kepada pembangunan industri buku. Selain meningkatkan minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia, PBAKL berupaya menjadi platform intelektual di negara ini. Hal ini dibuktikan dengan galakan aktiviti perbukuan seperti penulisan penyuntingan, ilustrasi, penterjemahan serta pemasaran buku. Ekosistem perbukuan yang konsisten ini akhirnya akan melahirkan banyak cendekiawan dan ilmuwan sekali gus memberikan pulangan pelaburan sosial kepada negara.\nBerkonsepkan budaya membaca sebagai pembentuk keperibadian unggul masyarakat MADANI, PBAKL 2023 mensasarkan sebanyak 900 ribu orang pengunjung dengan mengumpulkan sebanyak 211 syarikat pempamer dalam industri perbukuan melibatkan sebanyak 812 unit reruai. PBAKL 2023 ini turut menonjolkan 10 elemen keterujaan seperti yang berikut:\ni.\u00a0 \u00a0 \u00a0Pesta Buku Hibrid (PBAKL Fizikal dan Dalam Talian).\nii.\u00a0 \u00a0 Pusat Dagang Hak Cipta ASEAN (ASEAN Right s Fair).\niii.\u00a0 \u00a0China sebagai negara tamu.\niv.\u00a0 \u00a0Sarawak sebagai negeri tamu.\nv.\u00a0 \u00a0 Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai kementerian tamu.\nvi.\u00a0 \u00a0Kumpulan Penerbit Akademik Terbesar (perkumpulan penerbit-penerbit universiti).\nvii.\u00a0 IFLA Junior.\nviii. Mandiri di PBAKL 2023.\nix.\u00a0 \u00a0BOCA VIP Programme.\nx.\u00a0 \u00a0 Laman Santai Seni.\nPBAKL 2023 juga berkolaboratif dengan Shopee sebagai rakan rasmi e-dagang untuk melaksanakan pesta buku secara hibrid manakala TikTok sebagai rakan rasmi media sosial yang menawarkan banyak aktiviti di #BookTokMalaysia, Temui Pembaca di Mana Jua. Penyertaan Media Prima Berhad dan Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sebagai rakan strategik juga ialah usaha bagi meningkatkan promosi penganjuran pesta buku ini.\nPenganjuran PBAKL selama 10 hari ini dilihat sebagai usaha kerajaan bagi memperkukuh budaya membaca rakyat Malaysia dan memperkasakan industri perbukuan negara." "Murid Tadika Serikan Majlis Pelancaran Buku Kanak-kanak 1,2,3 Hembus\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023, Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan sesi pelancaran dan bicara buku kanak-kanak 1,2,3 Hembus di Reruai DBP, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, pagi tadi.\nBuku kanak-kanak karya Puan Mimi Salleh ini telah dilancarkan oleh Pengarah Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, Encik Armin Azhari Saleh; Ketua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani Omar dan juga murid-murid dari Tadika Smart Reader Kids Setiawangsa, guru-guru pengiring berserta ibu bapa.\nDalam ucapan perasmiannya, Puan Fauzilahyatun mengucapkan syabas dan tahniah kepada Puan Mimi Salleh atas penghasilan buku ini. Menurutnya lagi, pencapaian beliau ini amat membanggakan dan seharusnya menjadi pendorong kepada penulis lain untuk mengikut jejak langkah yang sama.\n\u00a0\nSelain memperkaya ilmu dan menjadi wahana didik hibur, buku kanak-kanak dapat dijadikan medan pembentukan sahsiah dan peribadi kepada golongan sasaran. Sesungguhnya, masyarakat yang berilmu harus dipupuk sejak kecil lagi melalui aktiviti membaca. Dalam hal ini, Dewan Bahasa dan Pustaka akan terus berusaha untuk menerbitkan buku kanak-kanak dan remaja yang bermutu bagi memenuhi permintaan pembaca.\nPelancaran buku ini disiarkan secara langsung melalui platform media sosial, Facebook DBP dan diteruskan dengan slot bicara buku dan sesi bercerita oleh penulis bersama-sama murid-murid tadika Smart Reader Kids Setiawangsa. Mengambil inspirasi daripada cerita rakyat dari Iran dan juga daripada kisah Nabi Ibrahim a.s., Puan Mimi turut berkongsi serba sedikit mengenai kisah dalam 1,2,3 Hembus dan turut mengadakan sesi soal jawab santai bersama-sama murid tadika. Kemeriahan turut dirasai dengan keceriaan dan kegembiraan murid-murid tadika semasa sesi bercerita dan sesi soal jawab tersebut.\nMula bergiat aktif dalam bidang penulisan sejak tahun 1998, Puan Mimi Salleh yang juga pengasas Swaterbit Kids Book (SKB), sebuah platform pembangunan kandungan secara inovatif untuk penulis swaterbit buku bergambar kanak-kanak turut menzahirkan rasa bersyukur atas penerbitan karya ke-16 hasil tulisannya. Buku 1,2,3 Hembus juga telah dibawa ke Pesta Buku Frankfurt (Frankfurt Book Fair). Selain aktif dalam membimbing penulis baharu untuk menapak dalam bidang penulisan buku kanak-kanak, Mimi turut menggabungkan minatnya dalam bidang penulisan dan juga bidang seni dalam memperkenalkan \u201ckirigami\u201d, iaitu seni guntingan kertas dan sering mengadakan kursus dan kelas mengenai seni ini bersama-sama kanak-kanak.\nMenyentuh tentang industri buku kanak-kanak di Malaysia, Mimi menyatakan bahawa masih terdapat kelompangan dalam industri ini, berbanding dengan di luar negara yang menunjukkan buku kanak-kanak menduduki tiga tangga teratas genre buku yang paling popular. Beliau menzahirkan harapan agar melalui medium yang telah disediakan, lebih banyak penulis buku kanak-kanak dapat menimba ilmu tentang penghasilan buku secara langkah demi langkah termasuklah ilmu tentang cara penjualan buku dan cara menghasilkan buku yang berkualiti serta mampu menambat pasaran industri buku di Malaysia.\nFoto: Mohamad Adib Zulkifli" "Penterjemah Profesional Perlu Cekap, Berkemahiran dan Berketerampilan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada hari ini menganjurkan program Syarahan Umum yang membincangkan tajuk \u201cProfessional and Non-Professional Translation and Interpreting\u201d oleh Pengerusi Multilingualisme dan Komunikasi, Heriot-Watt University, United Kingdom, Profesor Claudia V. Angelelli, pagi ini di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Aras 6, Wisma DBP.\nTurut bersama-sama dalam program ini ialah Ketua Unit Bahasa Asing dan Terjemahan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohamad Zain Sulaiman yang bertindak selaku moderator program.\nMenurut Profesor Claudia V. Angelelli, profesional adalah berkaitan dengan sesuatu profesion dan hanya layak atau sesuai dengan orang yang profesional, cekap, berkemahiran dan berketerampilan.\nSeseorang itu dikatakan profesional jika beliau terlibat dalam bidang pekerjaan dan memperoleh prestasi atau hasil daripada pekerjaan tersebut. Hal ini termasuklah dalam bidang penterjemahan.\nJelasnya, profesional hanya boleh digunakan untuk bidang pekerjaan tertentu yang juga merujuk standard pendidikan ahlinya dalam dunia profesion atau pekerjaan.\n\u00a0\n\u201cMenyentuh perihal penterjemahan, dunia hari ini yang pesat dengan perkembangan teknologi maklumat dan teknologi telah meningkatkan keupayaan pengguna bahasa yang pelbagai untuk berkomunikasi dari jarak jauh. Oleh hal yang demikian, keperluan terjemahan, tafsiran dan pengantaraan berbantukan manusia atau mesin juga semakin meningkat seiring dengan permintaan ini,\u201d terangnya lagi.\nBeliau juga berkongsikan bahawa seseorang yang profesional merupakan anggota atau ahli yang berdaftar dengan badan profesional masing-masing. Individu yang profesional juga menggambarkan standard pendidikan dan latihan yang diperoleh di samping berkongsi akan etika dan amalan profesional yang tersendiri.\nProfesionalisme bukanlah nilai korporat sejagat, sebaliknya tahap kecekapan dan kebertanggungjawaban ini merupakan amalan sosial yang terikat dengan sempadan budaya dan pertimbangan moral dalam kehidupan masyarakat.\nPersempadanan budaya inilah yang mempengaruhi penterjemah dan jurubahasa dari segi etika profesional, pemahaman dari segi tugas dan tanggungjawab yang perlu diikuti dan dihindari serta persepsi terhadap kualiti kerja yang dihasilkan.\nMengakhiri syarahan, beliau menyarankan agar penterjemah dan jurubahasa melibatkan diri dalam pelbagai disiplin ilmu.\n\u201cAktiviti penterjemahan yang membawa konsep dan makna yang sama mempunyai cabaran yang tertentu kerana disiplin ilmu yang berbeza mungkin tidak mendukung fungsi yang sama. Namun begitu, penterjemahan dan pentafsiran sesuatu maklumat mampu menjadi jambatan yang menghubungkan pelbagai komuniti pertuturan,\u201d terangnya.\nDalam program ini juga, Profesor Claudia V. Angelelli turut berkongsikan beberapa dapatan kajian beliau yang berkaitan dengan multilinguisme dalam amalan penjagaan kesihatan.\nPada akhir sesi perkongsian buah fikiran ini, Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia, Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hasan menyampaikan cenderamata kepada Profesor Claudia V. Angelelli.\nSesi penyampaian buah fikiran ini merupakan kesinambungan daripada Persidangan Antarabangsa Penterjemahan yang ke-19 yang telah berlangsung pada 24 Mei hingga 26 Mei 2023 di Hotel Swiss-Garden, Bukit Bintang, Kuala Lumpur." "Apabila Karya Seni P. Ramlee Menjadi Domain Awam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKarya seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee terutamanya lagu dan filem terus mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat. Hal ini menunjukkan bahawa karya berkenaan sudah berada dan sebati dengan masyarakat semasa termasuklah bagi \u00a0mereka yang lahir selepas P. Ramlee pulang ke pangkuan Ilahi 50 tahun lalu.\nTidak banyak seniman dalam kalangan penyanyi, pelakon atau pengarah yang begitu berpengaruh hingga kepada generasi baharu yang terpisah dari segi latar sosial zamannya. Akan tetapi, berbeza daripada P. Ramlee kerana terus diingati dan diminati hingga kini.\nHal yang demikian boleh dilihat sebagai nilai pasaran yang tinggi pada setiap karya seniman itu. Disebabkan terus popular dan bersifat malar segar, media elektronik seperti televisyen dan radio terus menyiarkan karya P. Ramlee.\nMalah dalam keadaan tertentu, lagu-lagunya menenggelamkan ciptaan baharu yang selalu dianggap sebagai \u201cmenepati\u201d selera zaman. Perkara itu membuktikan bahawa karya seni yang baik tidak pernah luput tarikhnya. Malah apresiasi terhadap karya seni hanya ditentukan oleh kedalaman menembusi jiwa khalayak.\nPopulariti karya-karya berkenaan menyumbang kutipan royalti daripada pengguna, seperti stesen televisyen dan radio. Harta intelek yang ditinggalkan oleh P. Ramlee itu terus bernilai dan memberikan pulangan kepada waris dan juga negara.\nWalau bagaimanapun, keadaan menjadi sangat berbeza apabila pada 29 Mei ini genap 50 tahun kepulangan P. Ramlee menghadap Ilahi. Mengikut undang-undang hak cipta, semua karya yang didaftarkan atas nama P. Ramlee sudah tidak lagi dilindungi dan bebas digunakan oleh sesiapa sahaja dengan percuma.\nBayangkan selepas ini karya-karya itu diperdagangkan atau lebih tepat diterbitkan semula sebagai memenuhi sambutan khalayak yang tidak pernah surut. Karya-karya itu diambil tanpa membayar royalti dan mengaut keuntungan yang sah di sisi undang-undang.\nHal itu sudah banyak berlaku kepada seniman dan sasterawan di Barat apabila karya mereka menjadi domain awam (public domain)\u00a0 selepas 50 tahun kematiannya. Karya-karya sastera William Shakespeare atau gubahan muzik klasik Mozart misalnya kini boleh digunakan oleh sesiapa sahaja.\nKarya-karya itu tidak dilindungi oleh undang-undang hak cipta di negara masing-masing. Malah tidak ada pihak yang boleh mendakwa memiliki karya-karya berkenaan selepas beralih menjadi domain awam.\nMaknanya semua yang dilakukan itu mengikut lunas undang-undang sekalipun kelihatan seperti tidak adil kepada waris yang sebelum itu berhak menerima kutipan \u00a0royalti. \u00a0Namun begitu, karya baharu yang dihasilkan daripada karya asal itu dilindungi oleh undang-undang hak cipta.\nMisalnya sebuah karya lagu P. Ramlee yang telah digubah dan diberi pembaharuan tertentu \u00a0oleh penggubah lain. Karya gubahan baharu itu tentunya menjadi milik penggubah berkenaan dan dilindungi sehingga 50 tahun selepas kematiannya.\nDemikianlah hakikat bahawa sesebuah karya harta intelek yang telah menjadi domain awam. Hal ini merupakan antara isu yang diperkatakan mengenai karya-karya P.Ramlee beberapa tahun kebelakangan ini.\nSejak pelibatannya dalam industri perfileman dan muzik, P. Ramlee banyak menghasilkan karya berupa lakon layar filem, gubahan lagu dan juga lirik.\u00a0 Walaupun begitu tidak semua karyanya dilindungi oleh hak cipta disebabkan kesedaran terhadap harta intelek yang masih rendah pada masa itu.\nMalah difahamkan banyak\u00a0 juga hak cipta karya-karya beliau seperti lakon layar filem terutama semasa dihasilkan di Singapura tidak didaftarkan atas nama P.Ramlee. Perkara itu berlaku disebabkan kesedaran terhadap harta intelek pada ketika itu tidak mendalam seperti zaman sekarang.\nOleh hal yang demikian, isu yang utama selepas 50 tahun kepulangan P. Ramlee adalah berakhirnya pelindungan undang-undang terhadap karya seni yang dihasilkan semasa hayatnya.\nSelama ini sesetengah karya-karya lagu P.Ramlee dilindungi hak ciptanya dan kutipan royalti diuruskan oleh Badan Pelindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP). Badan perlindungan itu mewakili waris P.Ramlee untuk mengutip royalti daripada pengguna karya-karya muziknya.\nWalau bagaimanapun, selepas harta intelek itu menjadi domain awam, pihak waris atau dalam konteks yang lebih besar negara ini akan kehilangan royalti itu. Misalnya lagu-lagu ciptaan P. Ramlee bebas digunakan di seluruh dunia dengan percuma termasuk untuk tujuan komersial.\nSebenarnya isu yang berkaitan dengan pelindungan harta intelek merupakan suatu hal yang masih baharu di negara ini. Banyak harta intelek dibeli secara terus dan pengkarya tidak mempunyai hak cipta terhadap karya berkenaan.\u00a0 Memang benar untuk jangka pendek, cara menjual secara pakej itu lebih mudah untuk dilakukan.\nAkan tetapi, harta intelek adalah suatu yang berupa harta pusaka. Sekiranya diuruskan dengan betul dan mengikut undang-undang akan mendapat pulangan daripada segi royalti. Hasil daripada karya itu boleh dinikmati oleh waris sehingga 50 tahun selepas pengkarya tersebut meninggal dunia.\nDalam isu berakhirnya pelindungan dan kutipan royalti karya P. Ramlee,\u00a0 ada pihak mencadangkan supaya kerajaan melanjutkan tempoh daripada 50 tahun menjadi 70 tahun. Hal ini bermakna, masih ada 20 tahun lagi untuk waris menikmati hasil royalti seniman itu.\nMaka, \u00a0untuk melanjutkan tempoh pelindungan harta intelek berkenaan bukanlah sesuatu yang mudah, sekalipun tidak mustahil.\u00a0 Sudah banyak perkara yang tidak mustahil, namun tidak menjadi kenyataan. Perkara itu melibatkan pindaan terhadap undang-undang tertentu dan sememangnya berdepan dengan cabaran yang sangat menyulitkan.\nAntaranya melibatkan pindaan pada Akta Hak Cipta 1987 yang mengikut undang-undang antarabangsa memberikan pelindungan sehingga 50 tahun selepas pengkarya tersebut meninggal dunia. Untuk meminda akta berkenaan, pembuat dasar yang terdiri daripada ahli Parlimen perlu membawa isu itu ke Parlimen.\nOleh hal yang demikian, buat masa ini karya-karya P. Ramlee dianggap tidak lagi dilindungi oleh Akta Hak Cipta 1987. Semua pihak perlu menerima hakikat bahawa karya seniman besar yang kita miliki itu sudah menjadi hak awam, tidak dilindungi\u00a0 dan kini berakhirnya kutipan royalti kepada waris." "Anak Muda Perlu Bangkit dengan Ilmu \u2013 YAB Perdana Menteri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 YAB Perdana Menteri, Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim menyeru masyarakat terutamanya generasi muda agar memupuk dan mewujudkan budaya membaca yang bersungguh-sungguh dalam diri serta menjadikannya sebagai ikrar dan janji kepada negara.\nMenurut beliau, negara Malaysia harus diangkat sebagai negara MADANI yang perlu diterapkan dengan ilmu pengetahuan dalam kalangan masyarakat. Sehubungan dengan itu, tradisi membaca mestilah diikuti dengan kekuatan ilmu yang perlu diberikan penekanan dari peringkat awal persekolahan.\nTegas beliau, anak muda perlu bangkit dengan ilmu untuk menjadi manusia yang unggul seperti dalam teras pertama Malaysia MADANI, iaitu kemampanan yang menekankan perihal mutu hidup yang seimbang berdasarkan citra Malaysia yang unik berasaskan ilmu pengetahuan.\nBeliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 yang berlangsung pada pukul 2.30 petang tadi di Pentas Utama, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. PBAKL pada kali ini berlangsung pada 26 Mei 2023 hingga 4 Jun 2023.\n\u201cSaya berasa gembira kerana PBAKL yang diadakan pada tahun ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penyertaan 211 syarikat dan penerbit dari dalam dan luar negara.\u201c\n\u201cSaya juga ingin menzahirkan penghargaan kepada negara China atas kesiagaan negara tersebut menjadi negara tamu bagi penganjuran PBAKL pada tahun ini.\u201c\nSementara itu, Majlis Perasmian PBAKL 2023 turut diserikan dengan ucapan alu-aluan oleh YBrs. Encik Mohd Khair Ngadiron (Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL), ucapan Negara Tamu oleh YBrs. Encik Zhang Jianchun (Timbalan Menteri, Jabatan Publisiti Jawatankuasa Pusat CPC, Republik Rakyat China), persembahan kesenian, bicara berirama dan gimik pelancaran PBAKL 2023.\nFoto: Mohamad Adib Zulkifli" "PBAKL 2023 Menyasarkan 900 Ribu Orang Pengunjung\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 pada kali ini yang berlangsung pada 26 Mei 2023 hingga 4 Jun 2023 berkonsepkan budaya membaca sebagai pembentuk keperibadian masyarakat MADANI menyasarkan 900 ribu orang pengunjung dengan penyertaan sebanyak 211 syarikat pempamer dalam industri perbukuan yang melibatkan 812 unit reruai.\nSelesai sahaja Majlis Perasmian PBAKL 2023, Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim melawat beberapa gerai pameran di sekitar Pentas Utama, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Selain itu, YAB Perdana Menteri turut beramah mesra dengan para pengunjung pesta buku berkenaan.\nPenganjuran pesta buku selama 10 hari ini dilihat sebagai antara usaha kerajaan bagi memperkukuh budaya membaca rakyat Malaysia dan memperkasakan industri perbukuan negara.\nPBAKL 2023 ini turut menonjolkan 10 elemen keterujaan seperti Pesta Buku Hibrid (PBAKL Fizikal dan Dalam Talian), Pusat Dagang Hak Cipta ASEAN (ASEAN Right\u2019 s Fair), China sebagai negara tamu, Sarawak sebagai negeri tamu, Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai kementerian tamu, Kumpulan Penerbit Akademik Terbesar (Perkumpulan penerbit-penerbit universiti), IFLA Junior, Mandiri di PBAKL 2023, BOCA VIP Programme dan Laman Santai Seni.\nSelain itu, PBAKL 2023 juga berkolaboratif dengan Shopee sebagai rakan rasmi e-dagang untuk melaksanakan pesta buku secara hibrid manakala Tik Tok sebagai rakan rasmi media sosial yang menawarkan banyak aktiviti di #BookTokMalaysia dan Temui Pembaca Di Mana Jua. Penyertaan Media Prima Berhad dan Radio IKIM sebagai rakan strategik juga adalah usaha bagi meningkatkan promosi penganjuran pesta buku ini.\n\u00a0\nFoto: Mohamad Adib Zulkifli" "Universiti AIMST Meraikan Graduan pada Majlis Konvokesyen Ke-14\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada majlis yang sama, pemberian pingat emas universiti bagi tahun 2022 telah dianugerahkan kepada, Foo Jia Yee daripada Fakulti Pergigian setelah menamatkan program Sarjana Muda Pembedahan Pergigian yang menyertai program Fakulti Pergigian pada September 2017." "Rebut Peluang Menangi Baucar Buku Terbitan DBP Bernilai RM150 menerusi Pertandingan Cerita Buku GEGAR Pagi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Program Kuiz Bahasa dan Sastera DBP-GEGAR yang diadakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 pada hari ini bukan sahaja bertujuan menyebarluaskan bahasa dan sastera kepada masyarakat secara langsung, malah mempromosikan Pertandingan Cerita Buku GEGAR Pagi anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Radio Gegar (GEGAR) bagi menggalakkan masyarakat membaca sambil berpeluang memenangi baucar buku terbitan DBP bernilaI RM150.\nPenyertaan untuk Pertandingan Cerita Buku GEGAR Pagi yang bermula pada 28 Mei 2023 hingga 1 Jun 2023 melalui siaran radio GEGAR adalah terbuka kepada semua warganegara Malaysia kecuali kakitangan dan ahli keluarga terdekat DBP dan GEGAR.\n\u201cPertandingan tersebut adalah satu daripada program untuk menggalakkan masyarakat membaca, membuka minda, memberikan ilmu dan sebagai pengenalan kepada masyarakat tentang kehidupan serta baucar buku yang disediakan menjadi satu daya penarik kepada masyarakat untuk membaca buku,\u201d kata Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd. Salahuddin Dato\u2019 Paduka Mohamed dalam program tersebut.\nMenurut beliau, DBP bukan sahaja menerbitkan buku, malah banyak melakukan aktiviti untuk menarik perhatian golongan muda menggunakan bahasa Melayu dengan betul, misalnya menerusi Festival Bahasa dan Sastera, Pertandingan Ekspresi Muzik Jalanan serta melaksanakan program bahasa dan sastera di setiap negeri.\nFestival Bahasa dan Sastera di Terengganu juga akan dilaksanakan dalam tempoh yang terdekat bagi mencapai matlamat DBP dalam menyebarluaskan bahasa dan sastera.\nSementara itu, menjawab persoalan sasaran utama yang ingin dicapai oleh GEGAR setelah sekian lama bekerjasama dengan DBP sejak tahun 2019, Pengurus Kandungan Radio Gegar, Puan Raja Nadia Salwana menyatakan bahawa pihaknya mengadakan program seperti segmen dialek, bercerita tentang hikayat, pertandingan berkenaan dengan istilah semasa dan peribahasa yang kesemuanya menggunakan bahan rujukan terbitan DBP adalah bagi mengajar masyarakat menggunakan bahasa Melayu dengan betul di samping berhibur.\nTambah beliau, pendengar GEGAR boleh menyertai pertandingan tersebut dengan melayari frekuensi GEGAR di saluran 88.1 (Kelantan), saluran 106.8 (Terengganu), saluran 88.8 (Pahang) dan bagi pendengar yang berada di luar daripada ketiga-tiga kawasan ini boleh melayari Astro saluran 863 atau menggunakan aplikasi Syok.\nPenganjur\u00a0 akan\u00a0 memilih\u00a0 masa\u00a0 dalam\u00a0 slot\u00a0 siaran\u00a0 GEGAR bermula pukul 7.00 pagi bagi memberikan peluang kepada pendengar GEGAR menjadi pemanggil terpantas melalui talian 03-95439969 dan berkongsikan cerita tentang buku yang pernah dibaca dalam kehidupan, seterusnya penganjur akan memilih pemenang untuk memenangi baucar buku terbitan DBP bernilai RM150 yang juga boleh digunakan sepanjang PBAKL 2023 berlangsung.\nPada masa yang sama, program Kuiz Bahasa dan Sastera DBP-GEGAR yang dikendalikan oleh penyampai radio GEGAR, iaitu Encik Shah Muhammad dan Encik Aswad Jalil memberikan peluang kepada para pengunjung menyertai kuiz berkaitan dengan bahasa dan sastera seperti mengenali sasterawan negara, mengenal pasti istilah dalam bahasa Melayu dan menjawab pantun teka-teki yang diberikan dengan tepat.\nTurut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, DBP, Encik Abdul Ghani Abu dan para pengunjung PBAKL 2023." "Pemenang Sijil Penghargaan Kategori Sektor Pendidikan dan Kategori Teknikal dan Vokasional\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan 2022 dengan tema \u201cBahasa Jiwa Bangsa\u201d telah berlangsung pada pukul 11.00 pagi tadi di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Majlis ini telah disempurnakan oleh Menteri Kanan Pendidikan, iaitu YB Datuk Dr. Radzi Jidin.\nDalam majlis tersebut, YB Datuk Dr. Radzi Jidin telah menyampaikan hadiah berupa Sijil Penghargaan kepada dua orang penerima anugerah bagi dua kategori yang dipertandingkan dan semua pemenang aktiviti bahasa kebangsaan sektor pendidikan tahun 2022.\nPada tahun ini, dua orang calon telah dipilih bagi Kategori Sektor Pendidikan dan Kategori Teknologi dan Vokasional yang menerima Sijil Penghargaan. Kedua-dua calon yang dipilih ini memiliki kekuatan dan kepakaran masing-masing yang telah terbukti melalui pelbagai sumbangan ilmiah serta anugerah cemerlang yang diterima sepanjang tempoh perkhidmatan mereka hingga hari ini.\nMenurut penerima Sijil Penghargaan bagi Kategori Sektor Pendidikan, iaitu Dr. Suriati Zakaria yang merupakan guru di SMK Jengka Pusat, Pahang, program Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan ini amat menekankan aspek membudayakan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dalam kalangan warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) khususnya.\nSaya menyertai program ini untuk turut sama memperkasakan bahasa kebangsaan kita. Bagi saya, program ini dapat menggalakkan masyarakat tanpa mengira kaum, tahap pendidikan dan peringkat umur untuk sama-sama memberikan sumbangan kepada bahasa kebangsaan kita. Jika bukan kita sebagai warga negara Malaysia, siapa lagi yang hendak mengangkat dan menjadikan bahasa Melayu sebagai jati diri masyarakat Malaysia.\nSementara itu, TS Adnan Dali, Guru Cemerlang di Bahagian Teknologi Penyejukan dan Penyamanan Udara, selaku Guru Kanan MP Teknikal di Kolej Vokasional Sepang, Selangor, iaitu penerima Sijil Penghargaan bagi Kategori Teknikal dan Vokasional berkata, program ini amat bermakna kepada semua masyarakat Malaysia dalam usaha ke arah memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.\nSaya tergerak hati untuk menyertai anugerah ini yang merupakan cadangan pihak pentadbir Kolej Vokasional bagi kategori TVET. Sepanjang perkhidmatan sebagai seorang guru, saya sebenarnya tidak pernah terfikir untuk menyertai program seumpama ini. Namun begitu, saya juga berasa terpanggil untuk turut serta memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu khususnya dalam bidang teknikal dan TVET.\nSementara itu, dalam proses pemilihan calon untuk diangkat selaku tokoh bahasa bagi kedua-dua kategori melalui fasa pemilihan yang cukup ketat dan teliti. Misalnya, beberapa orang panel khas yang terdiri daripada pakar-pakar bahasa dari pelbagai bahagian di KPM dan juga agensi yang berkaitan dilantik untuk meneliti dokumen dan bahan yang dihantar oleh semua calon dan dokumen tersebut akan dinilai berdasarkan instrumen yang telah disediakan.\nSelain itu, turut diraikan ialah pemenang bagi dua lagi pertandingan. Bagi Pertandingan Lagu Puisi Sektor Pendidikan, johan dimenangi oleh Puan Ratna Sariayu Osman dari Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, manakala johan bagi Pertandingan Mencipta dan Melafazkan Pantun Sektor Pendidikan pula dimenangi oleh Hezreen Sini yang juga dari Bahagian Sukan Kokurikulum dan Kesenian." "Aktiviti Membaca Meningkatkan Nilai Budi Kanak-kanak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023, Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah melaksanakan Program Seronoknya Membaca di Reruai DBP, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, semalam.\nSesi Ceritalah Lagi! telah membuka tirai program Seronoknya Membaca dengan persembahan cerita oleh Mama Filzah. Buku Alang Pipi Merah yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 2000 telah menjadi pilihan Mama Filzah untuk menyampaikan ceritanya kepada pengunjung yang terdiri dalam kalangan kanak-kanak yang hadir bersama-sama ibu bapa dan guru pengiring.\nSesi Kuiz Bahasa dan Sastera turut diadakan bagi menguji kepintaran kanak-kanak berkaitan dengan bahasa dan persuratan Melayu. Kuiz Teka Peribahasa, Eja dengan Betul, Bina Kata dan Teka Silang Kata dilaksanakan dalam bentuk didik hibur dengan memberikan buku sebagai hadiah galakan kepada kanak-kanak yang menjawab dengan betul.\nProgram Seronoknya Membaca ini disiarkan secara langsung menerusi pelantar media sosial DBP, seperti Facebook dan YouTube bagi menyebarluaskan lagi siaran ini agar dapat ditonton oleh pelayar setia media sosial DBP.\nKehadiran kanak-kanak dari Krista, Rumah Kebajikan dan Anak Yatim Darul Najjah, Rumah Titian Kasih dan Akademi Tahfiz al-Hidayah menyerikan lagi program Seronoknya Membaca dengan menampilkan keyakinan dan jati diri kanak-kanak ini menyertai setiap kuiz yang diajukan kepada mereka. Program ini memberikan daya tarik kepada khalayak pengunjung khususnya kanak-kanak dalam memperlihatkan kesungguhan mereka menghayati nilai dan ketinggian budi yang dipelajari melalui aktiviti pembacaan." "DBP Tampilkan Editor Majalah di PBAKL 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kehadiran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai pempamer di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada tahun ini dimeriahkan lagi dengan penampilan sidang editor Bahagian Majalah melalui program \u201cSembang Editor Majalah (SEM)\u201d di Dewan Tun Razak 3, Aras 3, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC) pada pagi tadi.\nProgram yang berkonsepkan santai tersebut menampilkan barisan sidang editor daripada 11 majalah terbitan DBP seperti Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, Dewan Bahasa, Dewan Ekonomi, Dewan Budaya, Dewan Kosmik, Dewan Tamadun Islam, Dewan Siswa dan Dewan Pelajar.\nSepanjang program tersebut berlangsung, pengunjung boleh mendapatkan maklumat dan panduan berkaitan dengan penghantaran karya secara bercetak mahupun secara dalam talian yang akan disampaikan oleh para editor majalah.\nMenurut Ketua Editor Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar, selain majalah bercetak, para pembaca juga boleh menjadikan portal JendelaDBP sebagai sumber rujukan berkaitan dengan isu semasa yang mampu diakses dengan mudah dan meluas.\nTambah beliau,\nHingga hari ini, DBP telah berjaya diakses sebanyak lebih tiga juta pelayar yang merentasi pelbagai negara.\nBeliau turut berkongsi tentang kisah Sasterawan Negara, YBhg. Dato\u2019 Rahman Shaari, iaitu kisah beliau yang menulis ketika bergelar pelajar sehinggakan berjaya diterbitkan dalam majalah Dewan Sastera.\nPada program yang sama, Timbalan Ketua Editor, Puan Aninah Janang mengatakan bahawa kesemua majalah terbitan DBP mencakupi pelbagai tema yang dapat menarik minat pembaca yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur.\nSelain program \u201cSembang Editor Majalah\u201d, pengunjung juga boleh mendapatkan buku dan majalah terbitan DBP dengan harga yang menarik di reruai DBP sepanjang PBAKL 2023 berlangsung." "SPM 2022 Diumumkan pada 8 Jun 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini bahawa keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 akan dikeluarkan pada 8 Jun 2023 (Khamis).\nSebanyak 403 637 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut di 3355 buah pusat peperiksaan di seluruh negara dan sebanyak 131 318 petugas peperiksaan telah dilantik bagi keseluruhan peperiksaan tersebut.\nCalon sekolah boleh memperoleh keputusan peperiksaan tersebut daripada sekolah masing-masing mulai pukul 10.00 pagi pada tarikh tersebut.\nBagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi jabatan pendidikan negeri yang merupakan tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2022.\nDi samping itu, calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan peperiksaan SPM 2022 melalui kaedah yang berikut:" "Seminar Fikrah Siddiq Fadzil Mengangkat Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Seminar Fikrah Siddiq Fadzil yang membawa tema \u201cCitra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia\u201c telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri pagi tadi. Seminar yang julung kali diadakan itu berlangsung pada 30 hingga 31 Mei 2023 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.\nYAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim, yang merupakan sahabat karib Almarhum Profesor Dato\u2019 Dr. Siddiq Fadzil, menyatakan bahawa pemikiran tokoh ilmuwan tersohor itu sangat relevan dengan keperluan untuk mengangkat masyarakat Madani pada masa ini. Bagi YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim, Almarhum Profesor Dato\u2019 Dr. Siddiq Fadzil merupakan seorang tokoh yang kuat berkakar kepada budaya Melayu, petah berbicara dalam bahasa Melayu, mendalami agama Islam, dan terbuka luas mindanya yang tidak terperangkap dengan pemikiran sempit perkauman atau jumud dalam kefahaman agama.\n\u201cManusiawi itu tidak mampu dibentuk hanya dengan kerangka teknologi, sains dan digital, tetapi perlu dibentuk dengan bahasa dan budaya. Walaupun ada pandangan serong yang menganggap bahawa seni, sastera dan budaya itu tidak relevan, kita tidak menerima pandangan cetek sedemikian kerana pemikiran dan kebudayaan itu mengangkat peradaban budaya. Dalam hal ini, saya berasa bimbang kerana minat dan kecenderungan ke arah ini tidak ada, terutamanya dalam kalangan anak muda,\u201c ujar YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim dalam ucaptamanya.\nTambah beliau lagi, adalah menjadi kerugian bagi masyarakat, khususnya generasi muda, jika tidak berpeluang merasai \u201ckelazatan\u201d keilmuan dan kebahasaan. Oleh sebab itu, buku-buku yang dihasilkan, terutamanya yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa Pustaka (DBP), sewajarnya dibincangkan dan diwacanakan di sekolah dan pusat pengajian tinggi.\n\u201cSaya telah berikan dukungan yang cukup kuat kepada DBP, termasuklah dalam kegiatan dan penerbitannya. Kita mahu lihat pada masa akan datang DBP kembali menjadi gedung budaya yang hebat. Saya beri jaminan untuk mengangkat dan menyempurnakan semangat addabani rabbi fa ahsana ta\u2019dibi (Tuhanku telah mendidikku, sehingga menjadikan baik pendidikanku),\u201d kata YAB Perdana Menteri.\nYang Berhormat (YB) Senator Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dalam ucapannya menyatakan bahawa Almarhum Profesor Dato\u2019 Dr. Siddiq Fadzil merupakan seorang tokoh yang bergerak cergas dan aktif dalam mengangkat fikrah dan dakwah di negara ini, bersama-sama YAB Perdana Menteri. Antara sumbangan besar Almarhum Profesor Dato\u2019 Dr. Siddiq Fadzil yang kurang disedari oleh masyarakat termasuklah memulakan kuliah Tafsir Maudhu\u2019i di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP ini sejak tahun 1998 yang berterusan sehingga siri ke-78.\n\u201cKita harus beri penghargaan yang tinggi kepada Almarhum Profesor Dato\u2019 Dr. Siddiq Fadzil dan YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim kerana mereka telah membawa suatu pemikiran dan hala tuju dalam membentuk negara yang berteraskan budaya ilmu dan pemikiran,\u201c kata YB Senator Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan.\nTurut hadir majlis perasmian Seminar Fikrah Siddiq Fadzil \u201cCitra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia\u201c ialah YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan, Dato\u2019 Haji Pkharuddin Haji Ghazali, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato\u2019 Ahmad Azam Ab Rahman, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), dan Profesor Dato\u2019 Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor.\nFoto: Khairul Azhar Baharuddin, DBP" "Dunia sedang Mencatu?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCatuan merujuk kawalan terhadap pengagihan sumber yang terhad, barangan makanan, pengeluaran perindustrian dan sebagainya.\nDalam institusi perbankan, catuan kredit merupakan situasi apabila bank mengehadkan bekalan pinjaman terhadap pengguna. Dalam ekonomi pula, catuan merujuk kawalan buatan terhadap penawaran dan permintaan komoditi. \nMengapakah catuan dilakukan? Menurut The Economic Times, catuan adalah untuk memastikan pengagihan sumber yang betul tanpa sebarang pembaziran yang tidak diingini. Bank melaksanakan catuan kredit adalah untuk mengawal pemberian pinjaman di luar asas kewangan bank. Selain itu, catuan adalah usaha untuk mengawal harga dan permintaan serta penawaran yang membawa kepada ketersediaan barangan dan perkhidmatan untuk setiap bahagian masyarakat.\nBanyak pihak melihat catuan dari pelbagai dimensi yang berbeza. Semasa Perang Dunia Kedua, catuan bertujuan untuk mengawasi kawalan harga barangan. Pada ketika itu, Officer of Price Administration (OPA), di Amerika Syarikat menetapkan peraturan yang amat rumit untuk mencatu segala-galanya, iaitu daripada daging lembu kepada gula dan daripada gula kepada kasut. Dalam proses itu, banyak syarikat dipersalahkan dan menjadi tumpuan untuk melepaskan kemarahan rakyat yang tidak berpuas hati dengan catuan yang dilaksanakan. \nKesan daripada catuan yang menghimpit peniaga dan pembeli, pasaran gelap berkembang dengan pesat dan tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Walaupun pelbagai kerumitan dan rungutan dilontarkan, kebanyakan rakyat Amerika Syarikat tetap mengakui bahawa catuan adalah satu daripada usaha penting dalam menangani perang yang sedang melanda sambil menyatakan bahawa, \u201ccatuan merupakan pengorbanan yang perlu tetapi tetap dibenci\u201d. \nHal ini dikatakan demikian kerana, pada ketika itu, walaupun kawalan harga adalah bertujuan untuk mengawal inflasi, tetapi matlamat utama catuan adalah untuk mengagihkan barangan yang terhad secara adil. Pegawai OPA, E.W. Eggen meletakkan isu ini secara praktikal semasa beliau menjadi tetamu dalam rancangan radio KGW 1943 di Portland dengan menyatakan bahawa; \u201cAndaikan permintaan untuk kopi melebihi bekalan dan tiada catuan, yang akan berlaku ialah pengunjung yang sampai ke kedai runcit terlebih dahulu akan mendapat kopi dan pengunjung yang tiba lewat tidak akan mendapat apa-apa. Hal ini bermaksud wanita yang bekerja di kilang dan tidak mempunyai masa untuk membeli bekalan makanan pastinya tidak akan dapat membeli kopi kerana bekalan yang ada sudah habis dibeli oleh pengunjung yang lain. Prinsip yang sama juga akan terpakai terhadap barangan lain seperti tuala, cadar, kasut, pakaian, dan segala jenis komoditi lain di mana kekurangan mungkin berlaku kerana dimonopoli oleh sesetengah pelanggan. Dalam hal ini, catuan pada dasarnya dilihat sebagai bersifat demokratik. \nPeraturan pelaksanaan catuan di Amerika Syarikat berubah dari semasa ke semasa, tetapi tetap dipenuhi dengan kerenah birokrasi apabila kupon mula diperkenalkan, sijil setem, pelekat dan sistem pertukaran mata. Pada ketika itu, gula menjadi barangan pertama yang dicatu di seluruh Amerika Syarikat pada Mei 1942 dan diikuti dengan kopi.\nPada hari ini, meskipun hampir 80 tahun Perang Dunia Kedua berakhir, catuan masih menjadi pilihan banyak negara dalam usaha mengawal ketidaktentuan ekonomi yang melanda dunia. Walau bagaimanpun, sumber makanan bukan lagi dijadikan barangan catuan utama yang memerlukan kawalan, tetapi telah beralih kepada sumber tenaga seperti elektrik yang menjadi keperluan utama masyarakat dunia. \nPada hakikatnya, kadar penggunaan tenaga elektrik secara global berterusan meningkat di seluruh dunia dan majoriti tenaga ini dijana melalui pembakaran bahan api fosil seperti arang batu dan minyak. Walau bagaimanapun, penggunaan sumber tenaga bersih sedang ditingkatkan oleh banyak negara lebih-lebih lagi ketika dunia sedang menangani kesan perubahan iklim. Tenaga boleh diperbaharui, seperti nuklear dan sumber bukan bahan api fosil kini semakin meningkat dalam penggunaan tenaga global.\nBilangan negara yang menggunakan bahan api fosil secara eksklusif telah berkurangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Kebanyakan negara kini mengutamakan pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui untuk mengurangkan pergantungan mereka terhadap bahan api fosil yang bersifat tidak mesra alam. Maka itu, sumber tenaga boleh diperbaharui seperti\u00a0 angin, solar dan kuasa hidro diramalkan akan menyumbang lebih separuh daripada pengeluaran elektrik di seluruh dunia menjelang tahun 2035. \nSebagai rekod, yang berikut lima buah negara yang paling tinggi penggunaan elektrik yang disenaraikan oleh NS Energy, iaitu China, Amerika Syarikat, India, Rusia dan Jepun.\nChina telah mendahului senarai dunia dalam penggunaan elektrik dengan menggunakan lebih daripada 6.3 trilion kilowatt tenaga sejam setiap tahun. Negara tersebut didakwa merupakan pengeluar dan pengguna arang batu terbesar dunia. Namun begitu, China telah mengalihkan tumpuannya kepada penggunaan gas asli dan sumber boleh diperbaharui sejak beberapa tahun kebelakangan ini.\nSementara itu, Amerika Syarikat menduduki tempat kedua dalam senarai penggunaan tenaga elektrik di dunia dengan penggunaan lebih daripada 3.9 trilion kilowatt sejam (kWj) setiap tahun. Penggunaan elektrik di negara itu dilaporkan telah melonjak 13 kali ganda sejak tahun 1950 dan penggunaan tersebut diramalkan akan terus meningkat dalam beberapa dekad akan datang.\nSebagai negara kedua dunia dengan populasi teramai di dunia, India berada pada kedudukan ketiga dengan 1.54 trilion kWj dalam masa setahun. Kadar penggunaan tenaga elektrik di negara ini dijangkakan akan mencecah 4 trilion unit menjelang tahun 2030. Sektor tenaga elektrik negara ini telah didominasi dengan penggunaan bahan api fosil, khususnya arang batu. Kerajaan India sedang berusaha untuk meningkatkan pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui dengan sasaran kapasiti 175 GW. \nKadar penggunaan tenaga elektrik di Rusia telah meletakkan negara ini pada kedudukan keempat dengan penggunaan 1.06 trilion kWj setahun. Rusia mempunyai sumber tenaga yang banyak dan mempunyai rizab gas asli terbesar yang dikenali dunia. Negara ini merupakan pengeluar minyak terbesar dalam kalangan negara bukan OPEC dan kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi. Sebagai satu daripada 10 pengeluar dan pengguna arang batu di dunia, Rusia telah melakukan usaha besar untuk pelaburan bagi tenaga boleh diperbaharui dengan lebih meluas walaupun terdapat dominasi penggunaan bahan api fosil dalam campuran tenaganya.\nJepun merupakan negara kelima dengan kadar penggunaan tenaga elektrik tertinggi di dunia, iaitu 0.93 trilion kWj setiap tahun. Negara tersebut telah lama menjadi pengguna utama serta pengimport tenaga. Jepun juga merupakan pengguna minyak ketiga dan pengguna arang batu keempat terbesar di dunia.\nJepun mempunyai grid timur dan barat yang berasingan, tidak seperti kebanyakan negara perindustrian lain yang biasanya mempunyai satu grid nasional tunggal sahaja.\nSelepas bencana nuklear Fukushima Daiichi pada Mac 2011, Jepun telah mengalami peningkatan drastik dalam penggunaan elektrik dan penghasilannya. Negara ini banyak bergantung pada tenaga hidroelektrik storan pam untuk mengimbangi permintaan dan bekalan.\nMeskipun Malaysia tidak tersenarai dalam negara tertinggi penggunaan tenaga elektrik, namun Malaysia memerlukan perancangan yang rapi dan terperinci dalam usaha mempertingkat sumber bahan api fosil atau mempersiapkan negara ini untuk beralih kepada tenaga boleh diperbaharui seperti sumber bukan bahan api fosil dengan mempertingkat pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui yang mesra alam. \nUsaha ini penting bukan sahaja untuk bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan, tetapi dapat menjadi usaha awal dalam memastikan catuan bekalan elektrik tidak lagi dilaksanakan yang bukan sahaja menjejaskan kehidupan harian rakyat, malah kerugian yang terpaksa ditanggung oleh industri. \nBermula April lalu catuan elektrik terpaksa dilaksnakan di negeri Sabah. Meskipun banyak usaha telah dilakukan, tetapi catuan merupakan pilihan utama Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dalam usaha menampung permintaan yang tinggi terhadap sumber elektrik di negeri itu susulan fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini. \nMenurut SESB menerusi kenyataan medianya\u00a0 memaklumkan bahawa catuan bekalan elektrik yang dilaksanakan di beberapa daerah secara bergilir-gilir adalah bertujuan untuk menstabilkan sistem grid elektrik di negeri tersebut yang seterusnya mengelakkan keseluruhan Sabah mengalami gangguan bekalan.\nTambah kenyatan itu lagi, pemintaan bekalan elektrik pada waktu puncak untuk Sabah adalah sekitar 970 megawatt (MW), walau bagaimanapun, pada 26 April lalu negeri tersebut telah mencatat permintaan paling tinggi untuk tahun ini, iaitu 1029MW. \n\u201cKeadaan cuaca panas yang melanda negara ketika ini secara tidak langsung telah meningkatkan permintaan tertinggi tenaga elektrik. Kapasiti penjanaan tenaga elektrik di Sabah secara amnya boleh menampung jumlah permintaan tersebut. Bagaimanapun baru-baru ini terdapat beberapa loji penjanaan telah mengalami masalah di luar jangka menyebabkan loji-loji tersebut tidak dapat menjana tenaga elektrik untuk memenuhi permintaan grid (elektrik) Sabah.\u201d Ujar kenyataan yang dikeluarkan SESB. \nSelain catuan bekalan elektrik, negara pada tahun 1997 dan tahun 2014 pernah melaksanakan catuan air terawat di beberapa buah negeri bagi mengawal penggunaan sumber air mentah terutama ketika tahap takungan air di empangan berada pada paras kritikal akibat cuaca kemarau yang panjang. \nAda pihak yang melihat catuan bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan terhadap kekuarangan bekalan elektrik atau air daripada menjadi lebih teruk, tetapi dapat dijadikan sebagai langkah yang berkesan untuk mendidik pengguna untuk menghargai keperluan elektrik dan air yang pada akhirnya dapat meningkatkan kesedaran rakyat terhadap krisis dua sumber penting dalam kehidupan itu. \nKetika negara sedang menggapai status negara maju, catuan keperluan asas seperti elektrik dan air sepatutnya menjadi catuan terakhir untuk dilaksanakan. Kerajaan seharusnya merangka pelan utama jangka masa panjang untuk kedua-dua sumber utama ini. Pelan tersebut perlu memastikan bahawa Malaysia sudah memiliki persiapan dalam menjana tenaga boleh diperbaharui yang tidak lagi bergantung 100 peratus pada bahan api fosil sperti arang batu dan minyak untuk membekalkan tenaga letrik. Hal yang demikian juga dengan bekalan air terawat yang boleh menampung keperluan rakyat meskipun kemarau melanda negara. \nMungkin kita perlu belajar daripada kesungguhan Singapura sebagai negara pulau kecil yang tidak memiliki sumber air semula jadi secukupnya dan selama ini amat bergantung pada sumber bekalan air dari Malaysia. Negara itu kini sudah bersiap sedia memelopori kaedah moden memproses air sisa kumbahan kepada air yang selamat untuk digunakan.\nHasil kitar semula air tersebut dipercayai akan dapat memenuhi sebanyak 40 peratus daripada kegunaan air rakyat Singapura sekarang (5.7 juta orang) dan dijangkakan bakal meningkat sehingga 55 peratus penggunaan air pada tahun 2060.\nBenar, catuan dapat dijadikan penyelesaian jangka pendek kepada sebarang gangguan sumber air atau elektrik, namun untuk tempoh jangka panjang, catuan bukanlah penyelesaian terbaik, selain menyusahkan rakyat dan merugikan pelbagai industri." "Malaysia \u2013 Australia Perkukuh Hubungan Diplomasi melalui Pendidikan Tinggi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Malaysia dan Australia mempunyai hubungan diplomasi yang erat dalam pelbagai bidang, antaranya termasuklah sukan, inovasi, sains dan teknologi. Menyedari kepentingan untuk memperkukuh ikatan dilpomasi antara kedua-dua buah negara, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis, telah menganjurkan syarahan umum antarabangsa yang disampaikan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Dr. Justin Lee, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia. Syarahan umum yang bertajuk Firm Friends, Ready for the Future ini diadakan di Dewan Kuliah enam, UiTM Cawangan Perlis, dan dihadiri oleh ketua-ketua jabatan dari Kerajaan Negeri Perlis dan warga UiTM Cawangan Perlis.\nDalam syarahan tersebut, TYT Dr. Justin Lee turut mengadakan perkongsian pengalaman sepanjang berkhidmat di Kedutaan Australia. Beliau juga menyatakan kesediaan untuk menerima lebih banyak lagi pelajar, penyelidik, pensyarah dan ahli akademik serta mengalu-alukan pelajar UiTM untuk melanjutkan pelajaran ke Australia.\nDalam pada itu, YBrs. Prof. Dr. Shahriman Zainal Abidin, Penolong Naib Canselor Pengantarabangsaan (UiTM Global) mewakili Naib Canselor UiTM, menyatakan bahawa:\nUiTM sentiasa menyokong kepentingan untuk mengukuhkan ikatan kolaborasi dan persefahaman antara Malaysia dengan Australia, terutamanya dalam konteks pengajian tinggi yang melibatkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan pertukaran staf dan pelajar.\nTambah beliau, melalui program syarahan umum yang dianjurkan ini dapat menunjukkan komitmen UiTM dalam memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara.\nMenurutnya lagi:\nUiTM juga mengalu-alukan kerjasama seperti ini bagi memastikan kredibiliti serta daya saing program di universiti dapat dipertingkatkan lagi, sekali gus melonjakkan kadar kebolehpasaran graduan.\n\u00a0\nTurut hadir sama dalam syarahan umum ini ialah, YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, Rektor UiTM Cawangan Perlis; YBrs. Dr. Faizal Kamarudin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pengurusan); wakil institusi dan agensi Kerajaan Negeri Perlis, ketua-ketua unit dan fakulti, staf serta pelajar UiTM Cawangan Perlis." "Kekurangan Pekerja Jejas Industri Pembuatan Automotif\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIndustri pembuatan automatif Malaysia masih menghadapi isu kekurangan pekerja. Situasi ini sedikit sebanyak telah menjejaskan ekosistem pembuatan automotif nasional, sekali gus memberikan kesan yang teruk kepada rantaian bekalan automotif, khususnya dalam industri pembuatan komponen. Industri pembuatan automatif memerlukan pengoperasian 100 peratus untuk membina sebuah kereta yang mempunyai 20 000 hingga 25 000 komponen secara keseluruhannya. Walaupun hanya 0.1 peratus sahaja vendor yang tidak dapat beroperasi kerana kekurangan pekerja, namun keseluruhan barisan pengeluaran yang membabitkan ribuan pekerja lain akan turut terjejas. Oleh itu, pengeluaran tidak boleh bergerak mengikut sasaran. Keadaan ini menyebabkan banyak pembeli kereta terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan kenderaan mereka selepas membuat pesanan dengan tempoh menunggu maksimum, antara empat hingga ke enam bulan, tetapi ada juga pembeli yang terpaksa menunggu sehingga ke sembilan bulan. Perkara ini merupakan antara isu serius yang sedang dihadapi oleh industri pembuatan automatif Malaysia dan menjejaskan pemulihan ekonomi industri. Disebabkan oleh kekurangan pekerja, kos tenaga kerja juga meningkat daripada RM80 sehari pada tahun 2022 kepada RM125 sehari pada tahun 2023. Perkara ini telah mengakibatkan pusing ganti atau pembaziran yang lebih tinggi kepada pemain industri.\nKeadaan semakin terjejas apabila Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) menyasarkan untuk mengurangkan pekerja asing sehingga mencapai tahap sifar pekerja asing dalam industri automotif. Hal ini bagi membuka peluang pekerjaan baharu kepada rakyat tempatan untuk mengisi kekosongan pekerja asing berkenaan. Pada ketika ini, terdapat kira-kira 220 ribu orang pekerja dalam industri automotif yang bekerja dengan vendor dan 70 ribu daripadanya adalah pekerja asing. Langkah pengurangan pekerja asing dalam industri pembuatan automotif sudah mula dilaksanakan sejak tahun 2014. Sejak itu, sebanyak lebih kurang 32 ribu orang pekerja asing telah digantikan dengan pekerja tempatan. Selain membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, langkah ini juga dapat mengurangkan kos latihan, kos levi pekerja asing dan kos pasport kepada pemain industri. Oleh itu, secara keseluruhannya, mengambil pekerja tempatan adalah lebih kompetitif berbanding dengan pekerja asing.\nSementara itu, Presiden Persatuan Pembekal Perodua, berkata industri ini telah dilengkapi dengan kemudahan latihan untuk pekerja terutamanya kepada penduduk tempatan, tetapi malangnya mereka berhenti hanya dalam beberapa bulan sahaja. Hal ini telah memberikan cabaran kepada vendor kerana perlu memberikan kemahiran tambahan kepada pekerja dalam usaha untuk meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan. Namun begitu, kini timbul pula persoalan tentang, adakah pekerja tempatan berhenti disebabkan oleh industri pembuatan automotif menawarkan gaji yang tidak setimpal, terutamanya sewaktu negara sedang mengharungi kos sara hidup yang tinggi? Penganalisis automotif menggesa industri agar menyemak semula aspek gaji dengan menjadikannya lebih adil sebagai jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja industri tersebut. Langkah meningkatkan gaji amat penting bagi industri menarik bakat atau minat pekerja yang sedia ada dalam negara. Hal ini memerlukan syarikat dalam industri mengusahakan pelan perniagaan yang lebih kompetitif bagi meningkatkan margin keuntungan, seterusnya dapat membayar gaji lebih menarik kepada pekerja. Pengeluar kereta perlu bersungguh-sungguh melancarkan model baharu dengan margin yang lebih tinggi agar mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pasaran.\nPada hakikatnya, industri pembuatan automotif tempatan mempunyai kekurangan skala dan produk yang kompetitif untuk melabur dalam automasi.\u00c2\u00a0 Oleh itu, wujudnya kebergantungan kepada tenaga pekerja yang murah. Automasi sentiasa menjadi sebutan sebagai jalan penyelesaian setiap kali timbulnya isu mengenai produktiviti. Mungkin juga sudah tiba masanya untuk kita meneliti semula pengaturan modus operandi semasa industri sama ada masih mampan atau sebaliknya. Selepas itu, perlu juga diteliti sama ada terdapat jurutera atau juruteknik dalam kalangan warga tempatan yang mencukupi untuk menampung keperluan industri. Mungkinkah wujud jurang kemahiran dalam kalangan pekerja tempatan? Apakah langkah bagi mengurangkan jurang tersebut? Adakah langkah untuk meleraikan isu tersebut sudah diambil? Kemungkinan juga jalan penyelesaian akhir terletak kepada sikap pekerja tempatan terhadap kerja berkenaan. Realitinya, untuk mendapatkan gaji yang lebih, memerlukan masa yang lama. Sebagai pekerja misalnya, kita perlu menunjukkan keupayaan diri yang mampu melaksanakan sesuatu pekerjaan dengan baik dan teratur. Hal ini demikian kerana pada akhirnya usaha untuk mendapatkan gaji tertentu adalah berdasarkan kepada kemahiran yang boleh ditawarkan dari semasa ke semasa.\nPresiden Persatuan Pembekal Proton juga menyatakan bahawa industri memerlukan pekerja asing. Pengambilan pekerja asing tidak mengganggu ekosistem industri pembuatan automotif bagi rakyat tempatan yang ingin mendapatkan peluang pekerjaan. Beliau menambah bahawa industri ini sudah melakukan banyak usaha untuk mengambil pekerja dalam kalangan rakyat tempatan walaupun kebanyakan mereka sering meletakkan jawatan dalam tempoh enam hingga 12 bulan selepas diambil bekerja.\nKekurangan pekerja menyebabkan pengeluar alat ganti automotif kerugian lebih RM2 bilion. Pengeluar alat ganti automotif berdepan kerugian kira-kira RM2 bilion dalam eksport setahun disebabkan oleh kesan daripada kekurangan tenaga pekerja sejak dua tahun lalu. Presiden Persatuan Pengeluar Peralatan Komponen Automotif Malaysia (MACPMA) berkata, kerugian itu juga disebabkan oleh pengeksport terpaksa menolak tempahan berikutan beroperasi pada tahap 70 peratus daripada kapasiti pemasangan kilang. Katanya, pihak industri alat ganti automotif bimbang jika perkara itu berlarutan, akan memberikan kesan kepada sumbangan keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.\nSetiap tahun, industri ini menyumbang sebanyak dua peratus kepada KDNK, iaitu lebih kurang sebanyak RM26.2 bilion. Selain itu, industri ini juga mengeksport kira-kira RM5 bilion alat ganti, tidak termasuk tayar, kepada lebih 60 buah negara di seluruh dunia setahun. Kesan kelembapan operasi itu juga turut menjejaskan kelewatan dalam penghantaran kenderaan. Kekurangan tenaga kerja yang serius secara tidak langsung boleh menjejaskan pemulihan ekonomi industri kerana pengilang tidak mampu mengeluarkan produk pada kapasiti yang lebih tinggi. Sekiranya perkara ini tidak diatasi, lebih ramai pembeli kereta terpaksa menunggu lebih lama untuk memiliki kenderaan masing-masing. Untuk rekod, pada ketika ini permintaan kereta di Malaysia telah melebihi bekalan. Permintaan melebihi bekalan disebabkan oleh tempahan kenderaan yang tertunggak masih kekal tinggi.\nLaporan kesan kekurangan pekerja asing dalam industri pembuatan automotif negara jelas menunjukkan betapa kuatnya pengaruh dan peranan pekerja asing dalam proses pembangunan ekonomi negara. Pada ketika ini, ekosistem industri pembuatan automotif menunjukkan kemungkinan berlakunya kehilangan lebih 500 ribu orang pekerja dan menghapuskan sehingga 4.5 peratus KDNK negara sekiranya isu tenaga kerja dalam industri ini tidak ditangani dengan segera. Hal ini sekali gus membawa kepada persoalan, adakah tenaga kerja asing yang mengawal ekonomi negara selama ini? Rungutan daripada pemain industri seolah-olah mengakui telahan bahawa industri pembuatan automotif sebenarnya terlalu bergantung kepada tenaga pekerja asing. Oleh itu, sampai bilakah industri mahu membiarkan keadaan ini berlarutan dan membiarkan pekerja asing menjadi penentu kepada pembangunan ekonomi negara? Adakah usaha untuk membenarkan kehadiran pekerja asing akan menyelesaikan masalah tersebut?\nPada masa yang sama, isu tentang keengganan warga tempatan bekerja dalam industri automotif perlu diteliti dan ditangani secara efisien. Jika tidak, kita akan terus bergantung harap kepada pekerja asing untuk selama-lamanya. Antara rungutan daripada pihak majikan termasuklah, pekerja tempatan yang tidak berminat untuk bekerja dalam bidang tertentu, khususnya dalam sektor 3D, iaitu kotor, bahaya dan sukar, seperti di industri automotif walaupun diberikan pelbagai ganjaran dan kemudahan. Sebagai contoh, walaupun ditawarkan gaji RM1500 dengan pelbagai kemudahan lain seperti tempat tinggal dan makanan secara percuma, rakyat tempatan masih tidak berminat menerima pekerjaan tersebut.\nDalam situasi ini, kita tidak boleh menyalahkan majikan lagi atas alasan mereka tidak mahu mengambil pekerja rakyat tempatan, sebaliknya kita perlu mengkaji kenapakah rakyat tempatan masih menolak untuk bekerja dalam industri seperti ini. Tiada gunanya kita membuka dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan tetapi pada akhirnya terpaksa diisi oleh pekerja asing. Persoalan yang masih tiada jawapan yang jelas ialah kenapakah anak tempatan tidak mahu bekerja dalam bidang tersebut sedangkan tawaran gaji semakin menarik?" "Menora: Terowong Maut?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIsu kemalangan maut di laluan berhampiran Terowong Menora seakan-akan tidak menemui titik pengakhiran apabila laluan tersebut dikatakan sebagai \u201claluan panas\u2019 yang sering menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. Hampir setiap tahun, ada sahaja kemalangan maut yang membabitkan kenderaan berat seperti treler, lori dan bas ekspres dilaporkan berlaku di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran dengan terowong tersebut.\nPada 11 Mei 2022 lalu, negara digemparkan dengan kemalangan maut membabitkan tiga buah kenderaan di KM246 PLUS arah utara di laluan berhampiran Terowong Menora kira-kira pukul 12.52 tengah malam. Nahas tragik itu mengakibatkan sebuah kereta Honda City yang dinaiki oleh lima pelajar lelaki Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) itu terbakar manakala dua lagi pemandu treler tidak mengalami kecederaan yang serius. Kelima-lima pelajar tersebut rentung dan meninggal dunia di tempat kejadian.\nSiasatan awal yang dilakukan oleh pihak polis mendapati punca nahas tersebut berlaku disebabkan oleh treler membawa muatan besi pagar merempuh bahagian belakang kereta yang dinaiki oleh lima orang pelajar USAS apabila treler yang membawa muatan jubin datang dari arah selatan menghala ke utara sedang memandu di lorong kanan disebabkan lorong kiri laluan lebuhraya ditutup bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan dilakukan. Treler yang membawa besi pagar tersebut tidak sempat membrek kenderaannya apabila kereta Honda yang dinaiki oleh lima orang pelajar USAS tersebut memperlahankan kenderaan. Hal ini menyebabkan kereta tersebut telah diseret oleh treler membawa besi pagar yang berada di belakang kenderaan mereka sehingga melanggar bahagian belakang treler bermuatan jubin.\nMenurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya bergegas ke lokasi nahas apabila menerima laporan kemalangan kira-kira pukul 1.45 pagi. Pihak polis juga telah menahan seorang pemandu treler yang berusia 28 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Beliau juga memberitahu, pemandu treler yang berusia 28 tahun tersebut mempunyai 22 kes saman yang telah dijelaskan atas pelbagai kesalahan trafik dengan lapan saman membabitkan kesalahan pandu laju. Namun begitu, ujian saringan air kencing yang telah dilakukan ke atas suspek menunjukkan hasil negatif.\nKemalangan maut yang melibatkan kenderaan berat di laluan panas lebuhraya berhampiran dengan Terowong Menora ini bukanlah pertama kali berlaku dalam sejarah di laluan berkenaan. Sebaliknya, telah banyak kemalangan jalan raya yang meragut nyawa telah berlaku di lokasi yang sama. Menurut statistik oleh Kementerian Pengangkutan sepanjang tahun 2018, sebanyak 564 kes kemalangan jalan raya telah dicatatkan di Terowong Menora. Daripada jumlah tersebut, tujuh daripadanya adalah kemalangan maut yang setakat ini telah menyebabkan 11 nyawa terkorban di lokasi kejadian. Laluan tersebut yang merupakan pakej Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) adalah lebuh raya sepanjang 55 kilometer yang menghubungkan Ipoh ke Changkat Jering. Lebuh raya tersebut juga merupakan lebuh raya kedua di Perak yang dikenakan bayaran tol selepas laluan antara Slim River ke Tanjung Malim.\nTerowong Menora sepanjang 55 kilometer itu telah dirasmikan oleh Sultan Perak ketika itu, Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Yusuf Izzuddin Ghafarullahu-lahu Shah pada 24 September 1987. Perasmian tersebut dilakukan semasa pembukaan lebuhraya Ipoh ke Changkat Jering. Projek lebuhraya yang telah beroperasi selama 35 tahun tersebut menelan kos perbelanjaan sebanyak RM360 juta dan pembinaannya memberikan manfaat kepada pengguna lebuh raya dengan memendekkan perjalanan dari Utara ke selatan dengan jarak sejauh 30 kilometer sahaja.\nPada tahun 2018, terdapat juga satu kemalangan maut yang berlaku di laluan Terowong Menora dan menyebabkan lima sekeluarga rentung setelah kenderaan yang dinaiki oleh mereka bertembung dengan sebuah treler. Kemalangan maut yang mengorbankan lima sekeluarga tersebut mendapat maklum balas daripada kerajaan negeri Perak apabila menegaskan bahawa mereka bakal mengkaji pelbagai cadangan penambahbaikan yang perlu dilaksanakan di laluan terowong tersebut bagi mengelakkan lagi nahas berdarah berlaku. Persoalannya adakah laluan baharu tersebut masih dikaji sehingga ke hari ini? Lima tahun telah berlalu, namun hingga kini masih berlaku kemalangan maut di lokasi yang sama. Apakah tindakan susulan yang dilakukan oleh kerajaan negeri \u00a0bagi mengurangkan risiko kemalangan maut daripada terus berlaku?\nSusulan kemalangan tersebut, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan Kerjasama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dikatakan akan menambah dan memasang empat kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dengan had laju 70km/j berhampiran Terowong Menora dari kedua-dua arah sebagai usaha meminimumkan kadar kemalangan. Walau bagaimanapun, sehingga ke \u00a0hari ini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak menegaskan bahawa pihak mereka masih belum dimaklumkan mengenai tarikh sebenar penguatkuasaan operasi empat kamera tersebut.\nBentuk muka bumi di banjaran Keledang yang tidak rata menyebabkan Terowong Menora mempunyai permukaan infrastruktur jalan yang berselekoh tajam dan agak curam ke bawah sehingga digelar sebagai jajaran maut. Infrastruktur jalan yang merbahaya inilah menyebabkan banyak kenderaan berat seperti lori, treler dan bas terbabas apabila brek kenderaan tiba-tiba tidak berfungsi dan hilang kawalan sebelum berlakunya kemalangan. Oleh itu, pengguna lebuhraya dinasihatkan untuk menggunakan gear rendah dan memperlahankan kenderaan mereka kerana lebuhraya tersebut curam ke bawah bagi kedua-dua arah Utara mahupun Selatan.\nBagi mengurangkan risiko kemalangan berulang di lokasi yang sama, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlulah mengembleng tenaga bekerjasama dengan Kerjasama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk menggiatkan pemeriksaan dan pemantauan yang lebih kerap terutamanya di kawasan panas kemalangan. Pihak lebuhraya PLUS haruslah menggiatkan rondaan bagi memastikan semua kenderaan mematuhi had laju yang ditetapkan di samping memperbanyak lagi Speed Trap Camera. Pihak JPJ haruslah menggiatkan operasi Ops Selamat dengan melakukan sekatan jalan raya bagi memeriksa kenderaan berat yang telah berusia, kenderaan berat yang tidak melebihi muatan dan pemandu bebas dadah atau alkohol.\nSeterusnya, kerajaan Perak seharusnya mewajibkan kenderaan berat terutamanya treler yang mempunyai muatan penuh untuk menggunakan laluan lama ke Kuala Kangsar bagi mengurangkan kadar kemalangan yang berpunca daripada kenderaan berat. Hal ini berikutan struktur lebuh raya yang curam ke bawah menyebabkan kenderaan berat seperti treler, bas dan lori kadangkala hilang kawalan apabila menuruni bukit. Mengikut hukum fizik, Kenderaan berat mempunyai jisim besar dan memiliki momentum yang tinggi terutamanya ketika menaiki bukit. Lalu, apabila kenderaan berat ini menuruni bukit curam, kenderaan berat tersebut mempunyai inersia yang besar. Inersia merupakan kecenderungan objek untuk kekal pegun dan menentang sebarang perubahan apabila daya dikenakan di atasnya. Inersia besar yang terdapat pada kenderaan berat ini akan menyebabkan kenderaan berat tersebut lebih mudah untuk hilang kawalan dan sukar untuk berhenti dalam jangka masa yang singkat. Oleh itu, bagi meminimumkan kes kemalangan di Terowong Menora pihak berwajib sewajarnya mengenakan larangan bagi menghalang kenderaan berat menggunakan lebuh raya tersebut sebaliknya menyarankan mereka supaya menggunakan laluan lama sebagai laluan alternatif.\nDalam kes ini, langkah yang sewajarnya perlu dilakukan demi mengelakkan hal yang sama terus berulang. Jangan nanti, sudah terhantuk baru hendak tengadah. Oleh sebab itu, kerajaan negeri perlu memikirkan inisiatif baharu bagi mengurangkan kadar kemalangan maut di Terowong Menora. Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan untuk sentiasa menguji kecekapan brek kenderaan, mematuhi had kelajuan yang telah ditetapkan, selain mengelakkan diri daripada memotong dan memecut jika tidak perlu berbuat demikian." "Koleksi Kartun Mampu Pupuk Budaya Membaca Tanpa Mengira Usia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Koleksi Kartun Dewan Pelajar: \u201cDi dan Pi\u201d dan \u201cAbol Batu\u201d yang berjaya menduduki carta paling teratas dalam penjualan buku di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semalam bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa (PBAKL) Kuala Lumpur 2023 telah membuktikan bahawa koleksi kartun tersebut menjadi pilihan sebagai satu daripada cara untuk menggalakkan masyarakat membaca tanpa mengira peringkat usia.\nKoleksi kartun yang dihasilkan oleh kartunis terkenal, iaitu A. Rahim Muda atau lebih dikenali sebagai Imuda ini berjaya menarik perhatian para pengunjung di PBAKL 2023 untuk menjadikan koleksi tersebut sebagai bahan bacaan santai dan satu karya hiburan yang memberikan kesan positif terhadap pembacanya.\n\u201cJika seseorang itu minat dan hendak melukis, mereka memerlukan kepakaran bagi mencipta sesuatu kerana segala yang berada di sekeliling kita menggunakan kepakaran melukis,\u201d kata Imuda ketika berkongsikan pandangannya dalam \u201cSlot Bersama Imuda\u201d di reruai DBP, PBAKL 2023, hari ini.\nKoleksi Kartun Dewan Pelajar: \u201cDi dan Pi\u201d dan \u201cAbol Batu\u201d merupakan penerbitan sulung genre kartun terbitan DBP yang tidak menggunakan dialog yang panjang tetapi masih dapat difahami oleh pembaca, ilustrasinya sederhana dan mengandungi pelbagai mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat.\nMenurut Imuda, cabaran menjadi seorang pelukis ialah apabila pelukis itu perlu menvisualkan suatu situasi yang ingin disampaikan menerusi lukisan, misalnya komik bisu, yakni komik tanpa dialog yang memerlukan pelukis berusaha melukis idea lukisan sehingga membolehkan para pembaca dapat memahami maksud di sebalik lukisan komik tersebut.\nBeliau yang pernah berkhidmat sebagai Penolong Pelukis Ilustrasi di DBP turut menyatakan bahawa kerjaya sebagai seorang pelukis tidak boleh dilakukan secara bersendirian dan memerlukan bantuan daripada orang lain agar terus bersemangat bagi meneruskan kerjaya dalam bidang ini.\nOleh hal yang demikian, beliau menjadikan kartunis lagenda, iaitu Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk Lat sebagai idola kepada beliau untuk menjadi seorang pelukis yang berjaya dengan mengamati segala karya lukisan Datuk Lat dan daripada situlah timbulnya semangat kepada beliau untuk menghasilkan setiap karya lukisannya.\n\u201cTiada jalan penamat bagi seorang pelukis kerana mereka tidak akan berjaya selagi tidak mencapai matlamat yang ingin dicapai,\u201d ujar Imuda lagi.\nSementara itu, Pengurus Projek bagi \u201cSlot Bersama Imuda\u201d, Puan Siti Masni Kospin menyatakan bahawa penganjuran program tersebut bertujuan memberikan peluang kepada pengunjung PBAKL 2023 untuk mendapatkan buku dengan harga yang lebih murah berbanding dengan harga biasa sekali gus menggalakkan budaya membaca, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.\n\u201cKoleksi Kartun Dewan Pelajar: \u201cDi dan Pi\u201d dan \u201cAbol Batu\u201d dapat memupuk semangat ingin tahu kanak-kanak melalui ilustrasi kartun yang ditunjukkan dan secara tidak langsung kanak-kanak akan mula membaca atau saling bertukar pandangan berkenaan dengan koleksi kartun tersebut,\u201d kata Puan Siti Masni Kospin ketika ditemu bual oleh penulis.\nBeliau berpandangan bahawa penerbitan komik dalam bentuk bercetak ataupun digital bukan sahaja mampu menarik minat perhatian pembaca dalam semua golongan kerana dialognya yang pendek, ringkas berserta ilustrasi yang menarik, malah seiring dengan perkembangan semasa, penerbitan komik sangat memainkan peranan penting dalam mendidik generasi pada masa akan datang melalui pembacaan.\nDengan adanya penerbitan koleksi kartun seumpama ini, pelbagai mesej dapat disampaikan kepada masyarakat sekali gus mampu memupuk budaya membaca dalam diri di samping berhibur dengan watak yang terdapat dalam koleksi kartun tersebut.\nPembaca boleh mendapatkan koleksi kartun ini di reruai DBP sepanjang PBAKL 2023 berlangsung dengan harga yang istimewa atau melalui laman sesawang Jendela DBP dan DBP Niaga." "ACeIO \u2013 USM, Komited Membudayakan Integriti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGelugor, Pulau Pinang \u2013 Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO) mengukuhkan lagi usaha pembudayaan integriti dengan berkolaborasi bersama-sama Universiti Sains Malaysia (USM) bagi menawarkan program \u201cCertified Professional in Integrity Assurance and Management\u201d.\nProgram yang diadakan pada hari ini merupakan sebahagian daripada inisiatif ACeIO untuk menjadikan integriti sebagai profesion.\nSelain itu, usaha tersebut juga akan dijadikan landasan bagi pengukuhan kompetensi ahli ACeIO dan pengamal integriti lain dalam memastikan integriti diurus secara profesional.\nProgram \u201cCertified Professional in Integrity Assurance and Management\u201d akan dijalankan pada hujung minggu untuk tempoh empat bulan dengan pengambilan pertama akan bermula pada Julai 2023.\nMajlis menandatangani serta pertukaran memorandum persefahaman pelaksanaan program antara ACeIO dengan USM telah disempurnakan dengan ACeIO diwakili oleh Presiden, Tuan Ahmad Sabri Mohamed manakala USM diwakili Naib Canselor, Profesor Dato\u2019 Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.\nTurut hadir menjayakan majlis ialah Timbalan Presiden ACeIO, YBhg. Dato\u2019 Shaharom Nizam Abd Manap; Dekan Pusat Pengajian Pengurusan USM, Profesor Dr. Noor Hazlina Ahmad, serta pegawai kanan ACeIO dan USM." "Kuasai Konsep Asas Bahasa \u2013 Menteri Kanan Pendidikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Setiap rakyat perlu menguasai konsep asas bahasa dan penguasaannya perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa. Menurut Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin, penguasaan bahasa dalam kalangan anak-anak juga perlu mendapat asas yang kukuh dari peringkat awal tentang konsep bahasa seperti dari sudut nahu, tatabahasa, pemilihan perkataan dan sebagainya. Beliau berkata demikian dalam sidang media bersempena dengan Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, yang dirasmikannya pada pagi tadi.\nBanyak program bahasa dalam konteks Kementerian Pendidikan Malaysia. Selain kurikulum, kita tekankan juga aktiviti kokurikulum. Contohnya, kita pernah mengadakan pertandingan syarahan, bahas, bicara berirama dan lain-lain. Yang terkini, kita mengadakan kerjasama dengan pihak UMW untuk melaksanakan pertandingan penulisan dan penyampaian puisi pada peringkat kebangsaan. Usahasama ini pertama kali dilaksanakan kerana kita mahu anak-anak kita melihat konteks bahasa dari lensa yang lebih luas.\nSelain itu, tambah beliau, mereka yang menguasai sesuatu bahasa itu dengan baik akan mempunyai kelebihan berbanding dengan mereka yang tidak menguasainya. Lebih banyak bahasa dikuasai dengan baik, lebih banyak kelebihan yang dimiliki. Dalam dunia tanpa sempadan, setiap jenis bahasa memainkan peranannya. Dalam konteks negara Malaysia, bahasa Melayu dalam pembangunan negara dan kemasyarakatan menjadi bahasa kebangsaan negara, yang menjadi tunjang perpaduan di negara ini. Yang penting, dalam apa-apa bahasa sekalipun, kukuhkan asas bahasa \u00a0dan tingkatkan tahap penguasaan bahasa yang ada.\nMenurut beliau, pendekatan penulisan puisi tentunya berbeza daripada penulisan dokumen rasmi dalam agensi kerajaan. Oleh itu, setiap bidang bahasa mempunyai keperluan untuk pihak yang berkaitan menyampaikan mesej yang terbaik berdasarkan bidang yang dikuasai. Begitu juga dari sudut penyampaian, iaitu pentingnya penguasaan bahasa yang baik bagi membolehkan bahasa ini terus kukuh dan mereka yang menggunakannya mendapat kelebihan dalam konteks dunia yang penuh persaingan pada hari ini.\nUsaha akan terus ditingkatkan sama ada dalam melaksanakan kurikulum atau kokurikulum. Di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia juga sentiasa menekankan penggunaan bahasa yang baik. Contohnya, dalam konteks komunikasi, polisi dan dasar, bukan sahaja dalam konteks penulisan, bahkan dalam penyampaian secara lisan turut diberi keutamaan untuk memastikan mesej atau dasar yang dirangka ini apabila diterjemahkan dalam penulisan akan dapat difahami dan dihayati oleh mereka yang membacanya khususnya dalam konteks yang lebih luas, iaitu rakyat Malaysia secara keseluruhannya." "Bengkel Penulisan Makalah Popular di IPGM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCyberjaya \u2013 Bengkel Penulisan Makalah Popular berjaya dilaksanakan dengan jayanya di Dewan Serba Guna, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) siang tadi.\nBengkel selama satu hari yang berakhir pada petang tadi ini dianjurkan oleh IPGM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nSebanyak tiga orang penceramah diundang untuk mengisi slot yang direncanakan dalam bengkel ini, iaitu YBrs. Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah; Encik Mohd Syukri Anwar, Editor Kanan Bahagian Majalah; dan Puan Mazfarina Marzuki, Pegawai Kanan Bahagian Harta Intelek.\nTujuan bengkel ini diadakan adalah untuk memberikan pendedahan kepada peserta tentang peluang penulisan yang terdapat di DBP.\nHampir 30 orang yang terdiri daripada kakitangan IPGM dan kampus Institut Pendidikan Guru\u00a0(IPG) di sekitar Lembah Klang hadir sebagai peserta.\nMenerusi bengkel ini, YBrs. Dr. Rosmani Omar menerangkan tentang peluang penerbitan di DBP yang melibatkan pelbagai bahagian terutamanya di Jabatan Penerbitan di samping proses kerja yang terlibat.\nSeterusnya, Encik Mohd Syukri Anwar memperincikan tentang ruangan yang terdapat dalam majalah bercetak dan majalah digital, serta jurnal terbitan DBP, selain panduan tentang penghantaran karya.\nPada sesi petang, Puan Mazfarina Marzuki memberikan pencerahan tentang hak cipta dan memberikan penekanan terhadap kepentingan pematuhan hak cipta bagi mengelakkan isu yang tidak diingini berlaku pada masa akan datang.\nBengkel berakhir dengan sesi penyerahan cenderamata dan bergambar sebagai tanda kenang-kenangan." "DBP Terbit 31 Judul Buku Sokongan Pendidikan Berkualiti Merangkumi Pelbagai Mata Pelajaran\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus komited menerbitkan bahan bacaan bermutu tinggi untuk pelbagai lapisan masyarakat dan dalam pelbagai bidang, termasuklah bidang pendidikan.\nUsaha tersebut diteruskan lagi dengan penerbitan 31 judul buku sokongan pendidikan menerusi Bahagian Buku Sekolah, Jabatan Penerbitan DBP yang meliputi pelbagai mata pelajaran yang diajarkan di sekolah rendah dan di sekolah menengah berdasarkan kurikulum dan sukatan pelajaran yang sedang diguna pakai.\nPenerbitannya dimeriahkan lagi dengan majlis pelancaran buku sokongan pendidikan tersebut yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 pada petang tadi.\nMenerusi ucapan pelancaran, YB Fadhlina merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada DBP dan para penulis kerana berjaya menghasilkan dan seterusnya menerbitkan buku sokongan pendidikan yang berkualiti tinggi. Ujarnya lagi,\nHubungan antara \u2018keluarga besar KPM\u2019 dengan \u2018keluarga besar DBP\u2019 diperkukuhkan lagi dengan penerbitan buku sokongan pendidikan ini. Komitmen 37 orang penulis yang terdiri daripada para guru yang berpengalaman membuktikan bahawa guru merupakan peneraju dalam membentuk budaya membaca.\nSelanjutnya, beliau juga menyatakan harapan agar sokongan dan dukungan terus diberikan kepada DBP dalam mempergiat penghasilan bahan bacaan yang berkualiti tinggi kepada masyarakat. Jelasnya lagi,\nDBP mempunyai pengalaman yang cukup panjang dalam pembinaan ilmu, keintelektualan, dan penghasilan buku yang bermutu.\nDalam ucapan alu-aluan, Encik Zulfa Hamzah selaku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) menyatakan bahawa usaha DBP dalam menerbitkan buku teks sekolah diperkukuhkan lagi dengan penerbitan buku sokongan pendidikan ini yang menjadi nilai tambah kepada buku teks yang sudah sedia ada untuk keperluan murid dan guru. Terangnya,\nBuku sokongan pendidikan ini meliputi pelbagai aspek seperti buku aktiviti, buku panduan, nota padat, latihan dan bacaan tambahan yang menyokong pembelajaran di sekolah.\nTurut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato\u2019 Hj. Pkharuddin Hj. Ghazali; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Pembangunan Profesionalisme KPM, YBhg. Tuan Haji Shafruddin Haji Ali Hussin; mantan Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran dan Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa." "DBP Lancar 12 Buku Siri Amalan Baik di PBAKL 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja telah melancarkan 12 buku siri amalan baik di reruai DBP, Dewan Tun Razak 3, Aras 3, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada tengah hari tadi.\nAntara tajuk buku siri amalan baik ini adalah seperti Kita Taati Ibu Bapa, Kita Hidup Secara Sederhana, Kita Mesti Sabar, Kita Mesti Rendah Hati, Kita Mesti Menghormati Orang Lain, Kita Solat dengan Khusyuk, Kita Hayati Solat, Kita Bersyukur, Kita Ingat akan Allah, Kita Solat Berjemaah dan Kita Pemaaf.\nBuku siri amalan baik ini telah dihasilkan oleh empat orang ahli akademik yang terdiri daripada Profesor Madya Dr. Ibrahim Hashim, Profesor Madya Dr. Melati Sumari, Dr. Fauziah Hanim Jalal dan Puan Nazariah Abdul Samad.\nPresiden Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY), iaitu Dato\u2019 Ahmad Redza Ahmad Khairuddin semasa ucapan perasmian mengatakan bahawa kesemua tajuk buku siri amalan baik ini amat diperlukan oleh anak-anak dan remaja kita pada hari ini yang banyak terdedah dengan gajet.\nMaka itu, penerbitan buku ini sangat bertepatan untuk dijadikan sebagai santapan minda mereka bagi memperkukuh jiwa masing-masing.\nMembaca merupakan asas untuk membina jati diri yang lebih baik. Maka itu, anak-anak perlu disajikan dengan pelbagai bahan pembacaan yang baik. Selain itu, melalui penerbitan buku ini juga diharap agar dapat mempergiat aktiviti pembacaan bukan sahaja dalam kalangan anak-anak, malah ibu bapa. Hal ini dikatakan demikian kerana buku yang sangat relevan dengan keperluan anak-anak, pastinya akan diterima baik dalam kalangan ibu bapa dan anak-anak itu sendiri.\nSelain itu, beliau berpendapat bahawa PBAKL 2023 ini merupakan satu platform yang baik untuk memperkenalkan buku siri amalan baik kepada penerbit luar. PBAKL 2023 bukan sahaja menghimpunkan pempamer dari dalam negara, malah terdapat wakil dari negara luar antaranya termasuklah negara China.\nMaka itu, jelas beliau, amat penting untuk kita memperkenalkan buku ini kepada mereka agar buku yang berkualiti terbitan DBP ini dapat diterjemahkan dalam pelbagai bahasa dan dipasarkan pada peringkat antarabangsa. Tambah beliau,\nMBBY selaku badan yang bernaung di bawah Board on Books for Young People (IBBY) pada peringkat antarabangsa bersedia untuk diuar-uarkan kepada rakan ahli dari 80 buah negara di seluruh dunia. Moga dengan strategi pemasaran yang berkesan, buku ini akan diterjemahkan dalam pelbagai bahasa.\nDalam majlis yang sama turut diadakan sesi bersama-sama penulis siri amalan baik yang dikendalikan oleh Pegawai Perancang Bahasa DBP, iaitu Puan Nelawati Ngadul.\nDalam sesi ini, satu daripada penulis buku, iaitu Profesor Madya Dr. Ibrahim Hashim mengatakan bahawa buku siri amalan baik ini mempunyai keistimewaan, yakni terkandung nilai-nilai yang terdapat dalam al-Quran, khususnya pengisahan dalam Surah Luqman. Surah ini menonjolkan kasih sayang dan kelembutan yang dipamerkan oleh Luqman terhadap anaknya.\nSebanyak 12 nilai yang termuat dalam buku siri amalan baik ini merangkumi keagamaan dan kemanusiaan yang diperlukan oleh anak-anak kita. Dalam al-Quran, perkara yang ditekankan ialah keesaan Allah SWT dan menjauhi sifat mensyirikkan Allah SWT. Inilah kejayaan yang besar dalam kemukjizatan al-Quran. Hal ini disebabkan al-Quran bukan sahaja memberikan asuhan, arahan dan larangan tetapi menanam tauhid tersebut. Apabila penanaman tauhid sudah mantap dalam diri anak-anak, maka mereka akan melakukan segala amalan baik seperti solat, menjadi seorang yang pemaaf, tabah, sabar, dan bersederhana dalam apa-apa jua.\nMajlis pelancaran ini turut dihadiri oleh Ketua Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja DBP, Encik Armin Azhari Saleh, penulis buku siri amalan baik, editor dari Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja DBP, dan dimeriahkan dengan kehadiran pengunjung yang berkunjung di reruai DBP." "Anugerah Buku Malaysia Ke-2: 13 Penerbit Buku Terima Pengiktirafan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebanyak 13 penerbit buku di Malaysia menerima pengiktirafan dalam Majlis Penyampaian Anugerah Buku Malaysia Ke-2 yang disampaikan oleh YBrs. Tuan Sheikh Faisal Sheikh Mansor, Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada hari ini.\nSebanyak 14 kategori dipertandingkan dalam anugerah ini yang bertujuan untuk memberikan pengiktirafan terhadap karya terbitan Malaysia dalam pelbagai kategori yang memperlihatkan mutu, karya dan penerbitan yang tinggi, sama ada dalam penerbitan karya bercetak mahupun digital.\nPenilaian dan pemilihan karya dibuat secara langsung oleh syarikat penerbitan yang berdaftar dengan MABOPA. MABOPA merupakan persatuan yang ditubuhkan pada 14 Januari 1969 dengan lebih kurang 160 penerbit yang berdaftar dan diterima sebagai entiti yang penting dalam industri penerbitan buku di Malaysia.\nTuan Haji Che Mazlan Saad, Timbalan Presiden MABOPA, yang juga merangkap Pengerusi Anugerah Buku Malaysia Ke-2 berkata:\nSebenarnya, ramai yang belum sedar bahawa Anugerah Buku Malaysia ini merupakan anugerah buku yang terbesar di Malaysia, MABOPA sentiasa berfikir bagaimanakah cara yang boleh dilakukan untuk melonjakkan minat orang awam terhadap buku. Oleh itu, Anugerah Buku Malaysia ini merupakan satu daripada usaha industri penerbitan buku untuk melonjakkan nama penerbit buku yang terbaik di Malaysia dan menjadi satu wadah komunikasi pemasaran untuk menarik minat orang awam membeli buku tersebut.\nTurut hadir sama dalam majlis tersebut ialah Puan Siti Amiza Abdul Aziz, Penolong Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Puan Carol Wong, Ketua Sunway University Press, Puan Ainunl Muaiyanah, Exco MABOPA, dan Encik Izzat Izhar Muhammad Nasir, Exco MABOPA.\nSenarai pemenang Anugerah Buku Malaysia Ke-2 adalah seperti yang berikut:\nJudul: 150 Ungkapan Mudah Bahasa Mandarin\nTerbitan: Sifu Manadarin Consulting PLT\n\u00a0\nJudul: World Tamil Encyclopedia\nTerbitan: UMA Publications\n\u00a0\nJudul: Wow, I\u2019m In Europe\nTerbitan: Big Tree Publications Sdn. Bhd.\n\u00a0\nJudul: Putera Kecil (The Little Prince)\nTerbitan: The Biblio Press Enterprise\n\u00a0\nJudul: WOW Komik PT3 Geografi Tingkatan 2 KSSM\nTerbitan: Sasbadi Sdn. Bhd.\n\u00a0\nJudul: Buku Teks Pendidikan Muzik Tahun 5 SJKC\nPenerbit: The Malaya Press Sdn. Bhd.\n\u00a0\nJudul: Rawatan Alternatif untuk Kanak-kanak Autistik\nTerbitan: Penerbit Universiti Sains Malaysia\n\u00a0\nJudul: Buku Teks KSSM Sains Tingkatan 3\nTerbitan: Sasbadi Sdn. Bhd.\n\u00a0\nJudul: Muslim Astronaut in Space\nTerbitan: Tertib Publishing\n\u00a0\nJudul: Pantun: The Poetry of Passion\nTerbitan: Penerbit Universiti Malaya\n\u00a0\nJudul: Wira Kera #1: Legenda Seorang Raja\nTerbitan: PTS Media Group Sdn. Bhd.\n\u00a0\nJudul: Dimana? Dimana?\nTerbitan: Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd.\n\u00a0\nJudul: Kekok\nTerbitan: IMAN Publication Sdn. Bhd.\n\u00a0\nJudul: Teruntuk Langit Yang Bercanda\nTerbitan: Nukilan Biruni Trading" "Pendidikan Awal Kanak-kanak, Tunjang Pembentukan Sahsiah Diri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 \u00a0\u201cPendidikan awal kanak-kanak ialah proses asuhan atau didikan sejak dari lahir sehingga seorang anak itu berusia lapan tahun. Pendidikan awal kanak-kanak merupakan tunjang utama bagi mempersiapkan kanak-kanak sebelum memasuki alam persekolahan.\u201d\nDemikian titah Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyampaikan Majlis Penyerahan Biasiswa Smart Reader Kids \u2013 One Child One Hope kepada Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, Kangar pada hari ini.\nKeberangkatan tiba baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang turut disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Smart Reader Worldwide, YBhg. Dato\u2019 Sri Dr. Richard Ong dan Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, YBhg. Datuk Johari Darus.\nPendidikan awal membolehkan si cilik belajar, bergaul dan membina hubungan baik dengan rakan sebaya dan guru mereka. Konteks utama adalah berkisar kepada anak-anak terutamanya dalam meningkatkan interaksi sosial mereka.\nPusat pendidikan yang baik mampu mewujudkan suasana yang selesa dan harmoni di dalam bilik darjah. Perkara tersebut bukan sahaja akan membuahkan hasil anak-anak yang berkualiti, malahan minat mereka juga akan semakin bertambah untuk belajar.\nAkses pendidikan awal ini membolehkan anak-anak ini mengikuti pelbagai aktiviti yang dijalankan secara bersemuka di sekolah. Dengan adanya usaha seperti ini, banyak ruang dan peluang akan diberikan kepada mereka untuk meneroka dunia pendidikan yang sebenar.\nDemikian titah Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed FaizuddinBaginda dalam majlis tersebut. Titah baginda lagi,\nHasilnya, anak-anak ini menjadi lebih yakin untuk berdiri di atas kaki sendiri dan peka akan keadaan sekeliling. Pendekatan holistik yang dipupuk dalam kalangan pelajar akan menjadikan mereka seimbang dari sudut sahsiah, rohani dan akademik.\nYBhg. Dato\u2019 Sri Dr. Richard Ong dalam ucapannya berkata, \u201cPenubuhan program biasiswa \u201cSeorang Anak Sebesar Harapan\u201d atau \u201cOne Child One Hope\u201c merupakan satu inisiatif pihak Smart Reader Worldwide dalam melahirkan kanak-kanak yang akan menjadi pemimpin masa hadapan\u201d.\nTambah beliau,\nSejak biasiswa ini dimulakan di negeri Perlis pada tahun 2008, Smart Reader Worldwide telah menyumbangkan hampir RM1 juta kepada 186 orang kanan-kanak bagi meneruskan pendidikan prasekolah yang berkualiti tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.\n\u201cSaya berharap biasiswa ini dapat diteruskan dalam membantu kanak-kanak di negeri Perlis terutamanya golongan yang kurang berkemampuan dalam mendapatkan pendidikan yang berkualiti\u201d, ulas beliau lagi.\nPada majlis tersebut turut terdapat upacara penyerahan cek cura (mock cheque) bernilai RM140 ribu oleh YBhg. Dato\u2019 Sri Dr. Richard Ong dan disaksikan oleh Tuanku Pemangku Raja Perlis, selaku Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis." "Kerjasama Pintar Kelab Penyayang UMK terhadap Kanak-kanak Autisme\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBachok \u2013 Aktiviti kesukarelawanan telah wujud dalam kalangan masyarakat di negara kita.\u00a0 Amalan murni seperti ini wajar disuburkan dalam kalangan masyarakat. Inilah antara hasrat yang ingin dicapai melalui Kelab Penyayang yang ditubuhkan di institut pengajian tinggi (IPT) seperti di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang memberikan tumpuan terhadap kanak-kanak autisme khususnya pada peringkat awal perkembangan kanak-kanak.\nSaban tahun, terdapat sejumlah kanak-kanak dikesan menghidapi autisme khususnya dalam negeri Kelantan berdasarkan penilaian yang dijalankan oleh badan bukan kerajaan seperti Persatuan Autisme Kelantan.\nKanak-kanak autisme memerlukan penjagaan dan kaedah didikan khas, antaranya bagi menerapkan kemahiran asas pengurusan diri pada awal perkembangan mereka. Selain khidmat jagaan, Pusat Jagaan Autisme Kelantan (KACC) turut menjalankan terapi bagi membantu kanak-kanak ini mengawal simptom autisme mereka.\nKelab Penyayang UMK mengorak langkah dengan menjalinkan kerjasama pintar dengan komuniti yang memberikan manfaat bersama. Hal ini dapat dilihat melalui penganjuran program Kelantan Autism Children\u2019s Nature Adventure yang melibatkan kerjasama antara KACC dengan\u00a0 ROHM-Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd.\nProgram ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada kanak-kanak autisme mengenai alam semula jadi. \u201cPengembaraan\u201d berbentuk terapi ini membolehkan kanak-kanak ini mengenali haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar.\nPelaksanaan siri satu diadakan di UMK Kampus Bachok dan melibatkan sebanyak 13 orang kanak-kanak daripada KACC. Kumpulan kanak-kanak ini \u00a0dibawa melawat Ladang Pengajar dan Keusahawanan Veterinar bagi mengenali haiwan ternakan seperti kuda, rusa, lembu dan kambing.\nMereka berpeluang merasai sendiri pengalaman melihat sendiri ladang dan memberi makan haiwan ternakan. Kumpulan kanak-kanak ini seterusnya dibawa merentas hutan yang terletak di dalam Creative-Techno-Park.\nProgram siri satu ini menerima kehadiran wakil ROHM-Wako Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd. iaitu Timbalan Pengurus Besar, Puan Wong Pui Li\u00a0 dan\u00a0 Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Puan Nur Iznie Mazzuana binti Zakaria . KACC pula diwakili oleh Pengarah KACC, Encik Shafrry bin Mohd Sarif,\u00a0 Encik Muhamad Faiz bin Rosli (pentadbir) dan lima orang guru.\nKelab Penyayang UMK diwakili oleh Profesor Madya Dr. Yohan Kurniawan (penyelaras program), Encik Ruzaini bin Ijon (penasihat kelab) dan 10 orang sukarelawan. Pengarah Creative-Techno-Park, Encik Mohd Aswawi bin Isa juga telah meluangkan masa meninjau pelaksanaan program ini.\u00a0 Program ini turut melibatkan 9 orang pelajar daripada Universiti Brunei Darussalam yang sedang menjalani program mobiliti tidak berkredit di UMK.\nSiri kedua program ini akan melibatkan kawasan pantai iaitu Pantai Senok yang terletak dalam Daerah Bachok dan dijangka akan dilaksanakan pada Oktober nanti. Pelaksanaan program seperti ini memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan ahli Kelab Penyayang UMK. Pihak KACC mendapat manfaat berbentuk sokongan sukarelawan yang dapat melancarkan operasi seharian mereka.\nKeprihatinan syarikat korporat seperti ROHM-Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd dapat memupuk kepentingan tanggungjawab sosial korporat dalam kalangan masyarakat terutamanya sukarelawan Kelab Penyayang UMK." "Seminar Fikrah Siddiq Fadzil Melabuhkan Tirai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Perasmian majlis penutupan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi petang tadi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.\nTimbalan Perdana Menteri menyatakan bahawa Gagasan Malaysia MADANI hari ini mempunyai korelasi dengan pemikiran melalui penulisan dan syarahan-syarahan oleh Almarhum Siddiq Fadzil.\nYAB Dato\u2019 Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata,\nMembina keunggulan bangsa bukan dengan membangunkan gedung-gedung pencakar langit atau perbelanjaan besar untuk projek-projek mega sebagai penanda aras kepada sebuah kejayaan tetapi yang harus dibangunkan ialah sikap dan semangat ingin menjadi bangsa yang mulia dan bermaruah.\nTimbalan Perdana Menteri juga berharap agar majlis seperti Seminar Fikrah Siddiq Fadzil yang telah diadakan dapat dilaksanakan lagi pada masa hadapan. \u201cSaya yakin UNISEL, WADAH dan DBP akan terus bekerjasama mengadakan seminar, forum atau wacana seperti ini demi menggali, menghayati dan menterjemahkan pemikiran Siddiq Fadzil.\nSeminar Fikrah Siddiq Fadzil yang membawa tema \u201cCitra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia\u201c dan julung kali diadakan telah berlangsung pada 30 hingga 31 Mei 2023 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.\nTurut hadir majlis perasmian penutupan tersebut ialah YB Senator Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Dato\u2019 Ahmad Azam Ab Rahman, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), dan Profesor Dato\u2019 Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor, Dr. Norisah Suhaili, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Sektor Operasi Sekolah serta Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.\nFoto: Zaidah Zakaria, DBP" "Himpunan Artikel buat Renungan Bangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cBuku ini diterbitkan untuk membangkitkan kembali kesedaran politik dan kebudayaan dalam kalangan bangsa Melayu\u201c.\nJelas YBhg. Dato\u2019 Dr. Firdaus Abdullah dalam sesi bersama-sama penulis di Reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (PBAKL), semalam.\nAntara Yang Dikendong Dengan Yang Dikejar, merupakan buku baharu himpunan artikel yang ditulis berdasarkan pengalaman dan pengamatan beliau sendiri tentang nilai politik Melayu.\nTerdapat lapan bahagian, bermula dengan bab pertama iaitu \u201cProlog\u201c yang mengandungi dua puisi panjang dan satu naskhah syarahan perdana berkenaan analisis politik Melayu.\nSeterusnya berkenaan alam Melayu, isu sosial seperti kemiskinan, masyarakat majmuk serta perubahan sikap akibat revolusi mental dan diakhiri dengan bab \u201cEpilog\u201c iaitu berkaitan perjuangan bangsa serta nasihat kepada angkatan muda.\nBeliau memulakan sesi dengan menyatakan tulisan pertamanya yang disiarkan ketika berusia 13 tahun, lantas membakar semangat beliau menulis sehingga ke hari ini merangkumi pelbagai aspek seperti kewartawanan, politik, budaya, sosial dan puisi.\nBeliau turut menitipkan nasihat kepada anak muda agar terus memahami, menghayati susur galur kaum, seterusnya mengkaji agar dapat memberikan sumbangan terhadap bangsa dan negara.\nProgram ini turut diselitkan dengan bacaan puisi oleh Encik Armin Azhari Salleh, iaitu Ketua Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja yang memilih sajak \u201cP. Ramlee dalam Ingatan\u201c bersempena dengan 50 tahun pemergian tokoh seniman tersebut.\nSebelum sesi ini berakhir, Dato\u2019 Dr. Firdaus Abdullah telah mendeklamasikan dua sebuah puisi yang berjudul \u201cPasir Salak\u201c dan \u201cPatricia Takemoto\u201c dengan penuh patriotisme dan romantis." "Pesta Buku dan Anjakan Paradigma\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPesta menurut Kamus Dewan Perdana seperti yang dipaparkan di laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermaksud kegiatan seperti kempen seperti promosi, pertandingan dan lain-lain secara bersiri dan kebiasaannya berlangsung secara tahunan dengan konsep dan mempunyai tujuan yang tersendiri. Ada kalanya pesta juga disebut sebagai festival.\nPesta juga merujuk kerja-kerja menjamu untuk merayakan sesuatu peristiwa dengan suasana yang senang hati dan gembira. Namun dari sudut lain, pesta sebenarnya merujuk kepada identiti bagi suatu kelompok manusia atau masyarakat. Dengan kata lain, pesta ialah satu kebudayaan yang serius dan bukan sekadar suasana yang riuh-rendah.\nContoh mudah yang dikaitkan dengan pesta ialah pesta buku yang merujuk pada kempen membudayakan masyarakat supaya mendampingi, membeli dan membaca pelbagai bahan bacaan. Di negara ini, pesta buku yang terbesar ialah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang telah pun memasuki usia 40 tahun dan kini sedang berlangsung ketika artikel ini ditulis.\nDisebabkan PBAKL itu sendiri merupakan satu pesta, maka acara ini dianjurkan dalam skala yang besar yang mempunyai beberapa bahagian dengan fungsi tertentu. Selain daripada ruang pameran itu sendiri yang bertujuan menyalurkan maklumat penting tentang sesuatu peristiwa, antara fungsi lain bahagian-bahagian tersebut termasuklah untuk meningkatkan pengetahuan melalui kesedaran dan kefahaman serta memeriahkan suasana dengan acara dan sambutan yang mempunyai hubung kait dengan tema penganjuran.\nPBAKL 2023 yang diadakan dari 26 Mei hingga 4 Jun 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur mempunyai empat bahagian utama, iaitu, Acara Pentas Utama (APU); Acara Pentas Rehat dan Baca (APRB); Mandiri di PBAKL; dan [email\u00a0protected]. Tapak atau reruai untuk pempamer pula terdiri daripada lapan bahagian, iaitu, Pelantaran Putra yang terletak di aras 2; Legar Putra di aras 2; Bilik Mawar di aras 2; Bilik Melaka, Pulau Pinang, Kelantan, Johor dan Kedah; Dewan Tun Hussein Onn terletak di aras 2; Dewan Tun Dr Ismail di aras 2; Dewan Tun Razak 3 di aras 3; dan Dewan Tun Razak 4 di aras 4.\nFungsi APU yang terletak di aras 2 bersebelahan dengan kaunter pendaftaran adalah untuk majlis perasmian dan majlis pelancaran buku. APU menjadi medium untuk menyorot dan menonjolkan buku-buku baharu atau buku-buku yang dianggap wajar untuk dimiliki dan ditelaah oleh orang ramai kerana pengaruh atau kesan positifnya kepada masyarakat.\nFungsi APRB pula adalah dengan menyediakan ruang aktiviti kepada para penerbit, penulis swaterbit, penulis/pelukis ilustrasi, pelukis komik, editor dan individu atau kumpulan kreatif yang bergiat dalam industri buku untuk mengadakan acara sampingan sepanjang PBAKL berlangsung. Ruang aktiviti ini bukan sahaja dapat mengetengahkan bakat atau kemahiran tetapi juga dapat mewujudkan interaksi yang positif dengan khalayak pembaca atau peminat industri. Ruang ini juga penting untuk penyaluran ilmu yang bermanfaat menerusi diskusi buku, bual bicara tentang langkah untuk menjana pendapatan dengan menjadi penulis dan sebagainya. Kadangkala terdapat juga pempamer yang bermurah hati menyediakan kemudahan percuma kepada pengunjung, misalnya dengan mengadakan pemeriksaan kesihatan yang melibatkan pemeriksaan indeks jisim tubuh (BMI), tekanan darah, pemeriksaan mata, kandungan gula dalam badan dan konsultasi kesihatan.\nMandiri yang merujuk kepada perusahaan swaterbit pula menyediakan ruang kepada para penulis persendirian yang menerbitkan buku mereka sendiri untuk mempamerkan hasil karya mereka. Antara yang tergolong dalam kategori penulis persendirian adalah seperti pembikin \u201czine\u201d, pengilustrasi dan pengusaha buku foto. Sebanyak 32 pempamer mandiri terlibat dalam PBAKL edisi ke-40 ini di mana selain mempamerkan hasil karya masing-masing, mereka juga terlibat dengan acara khas seperti Bicara Mandiri, Jaringan Mandiri, Resensi Buku dan Klinik Mandiri.\nBagi edisi ke-40 ini, [email\u00a0protected] bekerjasama dengan LOL (League of Legends) Cosplay Malaysia untuk menjayakan acara cosplay di Dewan Tun Razak. Istilah\u00a0cosplay\u00a0ini berasal dari kependekan gabungan perkataan\u00a0Inggeris\u00a0costume play\u00a0(pakaian beragam). Istilah ini direka oleh\u00a0Nobuyuki Takahashi\u00a0dari Studio Hard Jepun ketika menghadiri Konvensyen Dunia Fiksyen Sains (Worldcon) yang diadakan di Los Angeles pada tahun 1984.\u00a0Beliau tertarik dengan suasana dewan dan peminat yang berpakaian beragam lalu membuat laporan mengenainya dalam majalah\u00a0fiksyen sains\u00a0Jepun, My Anime.\nSejak itu, lebih banyak aktiviti dan seni persembahan yang melibatkan peserta yang memakai pakaian dan aksesori fesyen untuk mewakili watak tertentu yang kebiasaannya bersumberkan watak-watak kegemaran, khususnya yang terdapat dalam anime dan manga. Peserta ini dipanggil sebagai cosplayer. Cosplayer sering berinteraksi untuk mencipta subbudaya, dan penggunaan istilah cosplay yang lebih luas diaplikasikan untuk apa-apa jua lakonan berkostum di mana-mana sahaja tanpa terikat dengan pentas. Oleh itu, mana-mana entiti yang meminjamkan dirinya kepada tafsiran dramatik boleh diambil sebagai subjek atau dengan kata lain secara tidak langsung telah pun meletakkan dirinya sebagai cosplayer.\nCosplay yang berlangsung sempena PBAKL 2023 bermula dari 2 hingga 4 Jun 2023 melibatkan beberapa pertandingan yang menawarkan hadiah yang lumayan. Pertandingan \u201cDoodle Story\u201d misalnya menawarkan hadiah sebanyak RM200 dan sijil bagi pemenang tempat pertama. Dalam pertandingan \u201cKids Cosplay Competition\u201d, para peserta berpeluang merebut hadiah tempat pertama yang bernilai RM500 dan sijil. \u201cSolo Skit Competition\u201d menawarkan hadiah tempat pertama tertinggi, iaitu sebanyak RM1000 dan sijil, serta diadakan pada hari terakhir PBAKL. Tokusatsu Cosplay Challenge juga tidak kurang menariknya kerana sudah tentu pelbagai watak daripada siri televisyen Jepun akan diperagakan bagi merebut hadiah tempat pertama yang bernilai RM500 berserta sijil.\nTokusatsu merujuk pada istilah Jepun untuk filem aksi langsung atau siri televisyen yang banyak menggunakan kesan khas praktikal. Filem sebegini dibangunkan oleh pencipta Godzilla dan Ultraman, iaitu Eiji Tsuburaya (1901\u20131970) yang dianggap sebagai pelopor industri kesan khas Jepun dengan memperkenalkan beberapa perkembangan teknologi dalam produksi filem. Istilah Tokusatsu digunakan apabila melibatkan filem yang menggunakan kesan khas, khususnya dalam fiksyen sains, perang, fantasi atau seram. Penggunaan kontemporarinya berasal daripada media massa Jepun sekitar tahun 1958 untuk menerangkan kesan khas dengan cara yang mudah difahami dan terus popular semasa ledakan raksasa pertama seperti Ultra-Q dan Ultraman antara tahun 1966 hingga 1968.\nOleh itu, apakah kaitan cosplay dengan buku? Dari sudut positif, cosplay membantu merancakkan industri buku kerana seseorang yang ingin menjadi cosplayer mestilah mengetahui tentang watak-watak yang hendak diperagakannya dengan cara membaca, meneliti dan menghayati setiap watak tersebut dengan mendalam. Oleh itu, cosplay bukan sekadar peragaan, malah sebenarnya berkaitan dengan potensi manusia. Menerusi cosplay, seseorang itu akan menyepadukan seberapa banyak pengetahuan yang diperoleh agar dapat memperagakan watak tersebut sebaik mungkin, kemudian merealisasikan watak tersebut di dunia nyata.\nAksi cosplay bukan sahaja boleh dianggap sebagai satu hobi yang menghiburkan, tetapi juga mempunyai peranan yang besar dalam meningkatkan tahap kesihatan mental kerana hobi tersebut memberikan manfaat kepada pemikiran seseorang yang mempunyai masalah membina keyakinan diri dan masalah dalam pergaulan. Menerusi aktiviti cosplay, seseorang itu dapat membangunkan keyakinan diri, mewujudkan sebuah komuniti dan membolehkan dirinya mengatasi kelemahan yang ada dalam dirinya dengan cara mencabar diri untuk melakukan yang terbaik. Sebagai cosplayer pula, seseorang itu akan menghargai nilai persahabatan dengan peserta-peserta lain yang berkongsi minat yang sama, menghargai hasil seni dan kreativiti dan menghargai ketepatan setiap watak yang dibawa dan kostum yang diperagakan.\nBagi memastikan kelancaran acara tersebut di PBAKL, beberapa garis panduan telah ditetapkan dan panduan tersebut perlu dipatuhi oleh semua peserta termasuk pengunjung, iaitu:\n(1) tidak dibenarkan membawa senjata yang realistik kerana hal tersebut menyalahi undang-undang negara\n(2) pemakaian kostum atau busana mestilah bersesuaian dengan acara awam\n(3) sebarang rakaman yang hendak dilakukan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu\n(4) sikap dan tingkah laku mestilah dipelihara kerana perkara tersebut menjadi tanda aras ketamadunan dan kemajuan sesebuah bangsa atau masyarakat\n(5) tidak menjadi penghalang pada kawasan yang telah ditetapkan sebagai laluan orang ramai misalnya dengan berkumpul, mengambil gambar dan sebagainya\n(6) tidak sepatutnya berlaku gangguan seksual dan jika ada maka perkara tersebut perlu dilaporkan segera untuk tindakan\n(7) menjaga peralatan dan harta benda yang berharga daripada pencuri atau penyeluk saku\n(8) bersikap waras dan rasional, iaitu jangan mudah percaya kepada orang yang tidak dikenali dan tidak terlibat dengan kegiatan tidak bermoral seperti peras ugut dan sebagainya.\nNatijahnya, Cosplay boleh membuka satu dimensi baru dalam industri perbukuan tempatan. Hal ini demikian kerana cosplay bukan sekadar membina watak yang boleh mendatangkan pengaruh kepada sesebuah kelompok atau segmen masyarakat, tetapi juga membentuk satu lingkungan budaya dan identiti. Buku sebagai wadah berperanan besar dalam mencorakkan hala tuju masyarakat menerusi watak-watak yang boleh membangunkan personaliti yang cerdas, cemerlang dan berwibawa, iaitu watak-watak yang boleh membangunkan jati diri, memupuk nilai-nilai murni selaras dengan acuan Melayu-Islam yang dominan di rantau ini dan bertoleransi dengan semangat muhibah berbilang bangsa. Dalam bahasa mudah, cosplay mampu menganjak tema perbukuan ke isu pemikiran yang lebih serius tanpa menghilangkan nilai santai dan hiburan yang terkandung di dalamnya." "DBP Memupuk dan Memugar Penulisan Buku Kanak-kanak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus memotivasikan penulis sastera kanak-kanak dengan mempergiat usaha pemupukan dan pemugaran cinta terhadap penulisan buku kanak-kanak di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023.\nMenurut penerima Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2015, Puan Mahaya Mohd Yassin, dalam penulisan sastera kanak-kanak, perlu ada daya persona dan variasi agar karya sastera yang dihasilkan tidak sama dengan buku lain di pasaran.\n\u201cIlmu, nilai murni, kemahiran dan ketinggian bahasa yang sesuai selaras dengan perkembangan khalayak pembaca merupakan elemen yang penting dalam penulisan sastera kanak-kanak.\u201c\n\u201cKita boleh bersaing dengan teknologi dan mempersembahkan keempat-empat elemen tersebut, agar khalayak pembaca terbimbing dan terasuh dengan pendidikan dan hiburan,\u201c katanya dalam program \u201cJom, Tulis Buku Kanak-kanak!\u201c anjuran Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja (BKR) DBP, bertempat di Bilik Kuala Lumpur, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada pagi tadi.\n\u201cTanggungjawab sebagai penulis amat besar, maka perbanyakkan menilai, mengkaji dan memberikan yang baik-baik sahaja dalam penulisan,\u201c ujar beliau.\nSementara itu, menurut penulis fiksyen sains dan fantasi, Encik Ahmad Patria Abdullah, seseorang penulis perlu jujur pada dirinya terlebih dahulu dan perlu memiliki keikhlasan dalam penulisan.\nAntara penulis dengan pembaca tiada hijab.\n\u201cKejujuran dan keikhlasan dalam penulisan membolehkan sesuatu karya tidak lapuk dan pudar,\u201c jelasnya.\nSelain Puan Mahaya dan Encik Ahmad Patria, program \u201cJom, Tulis Buku Kanak-kanak!\u201c turut menampilkan mantan editor DBP, Puan Rozninah Abd Azib, dan Profesor Madya Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi dari Universiti Putra Malaysia sebagai ahli panel, manakala Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Encik Ghani Abu bertindak sebagai moderator.\nMengulas mengenai pelaksanaan program tersebut, Ketua Editor BKR DBP, Encik Armin Azhari Salleh berkata, \u201cProgram ini berjaya menghimpunkan seorang penulis sepenuh masa, seorang mantan editor, seorang pengkaji sastera kanak-kanak dan seorang penulis yang bukan dalam bidang sastera sebagai ahli panel.\u201c\n\u201cPerkongsian pada hari ini memperlihatkan setiap ahli panel mempunyai pengalaman dan idea yang tersendiri yang diharapkan dapat memberikan manfaat kepada penulis,\u201c ujarnya." "Guru, Penulis dan Wartawan Nadi Utama Pengukuhan Bahasa \u2013 YB Datuk Dr. Radzi Jidin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Menteri Kanan Pendidikan Malaysia, YB Datuk Dr. Radzi Jidin pada pagi tadi menyempurnakan Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan 2022 di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Program Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan 2022 merupakan program tahunan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.\nDalam ucapannya, YB Datuk Dr. Radzi Jidin menegaskan kepentingan seseorang individu dalam menguasai suatu bahasa. Ujar beliau, \u201cSesiapa yang menguasai sesuatu bahasa akan mempunyai kelebihan daripada individu yang tidak menguasai bahasa.\u201d\nBeliau juga menjelaskan bahawa seseorang individu perlu menguasai perkara asas dalam bahasa. Hal ini demikian kerana beliau yakin dengan menguasai perkara asas, mesej yang ingin disampaikan kepada seseorang akan mudah difahami dengan baik. Jelas beliau:\nAntara perkara asas untuk menguasai bahasa yang ditekankan dalam bahasa termasuklah nahu, penyusunan ayat, pemilihan perkataan, penyusunan hujah dan penyusunan bab dalam penulisan.\nMenerusi ucapan beliau, Menteri Kanan Pendidikan turut menitiberatkan pihak yang terlibat secara langsung dalam membantu masyarakat dalam aspek penguasaan dan pengukuhan bahasa terutamanya para pendidik. Tambah beliau lagi, selain guru yang menjadi penyumbang dalam pengukuhan bahasa, wartawan dan penulis juga menjadi nadi utama pengembangan bahasa dalam masyarakat menerusi penulisan dalam akhbar dan buku. Bahan yang ditulis oleh mereka boleh dijadikan sumber rujukan oleh pelajar sekolah dan masyarakat. Oleh yang demikian, inisiatif yang efektif dalam usaha memartabatkan bahasa perlu terus dilaksanakan dalam usaha mengukuhkan bahasa kebangsaan. Jelas beliau, menerusi pengukuhan dan penguasaan bahasa dalam diri, seseorang individu itu berupaya untuk bersaing dalam dunia global dan meningkatkan daya saing mereka pada peringkat dunia.\nYB Datuk Dr. Radzi turut menghargai usaha KPM, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), serta Kumpulan UMW yang telah melaksanakan penulisan puisi peringkat kebangsaan buat pertama kalinya pada tahun ini yang bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar dengan lebih meluas dalam meningkatkan kemahiran berbahasa. Hal ini demikian kerana inisiatif ini sedikit banyak dapat membuka mata para pelajar supaya memahami makna yang tersirat dalam bait-bait puisi yang ingin disampaikan dengan lebih mendalam.\n\u00a0\nAcara yang penuh gilang-gemilang ini turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Dr. Ahmad Rafee Che Kassim (mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia), Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV), Puan Hajah Zanariah Haji Ahmad, tetamu undangan dari pelbagai agensi di bawah sektor pendidikan termasuklah para guru serta rakan media yang lain.\nMajlis tersebut juga diserikan dengan pelbagai persembahan oleh para pelajar sekolah, penyampaian hadiah bagi Aktiviti Bahasa Kebangsaan Tahun 2022, tayangan multimedia, penyampaian Sijil Penghargaan bagi Kategori Sektor Pendidikan dan Kategori Teknikal dan Vokasional serta peragaan busana serikandi.\nSelain itu, majlis tersebut dimeriahkan dengan pameran oleh agensi di bawah sektor pendidikan, iaitu DBP, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan BPLTV yang diwakili oleh Kolej Vokasional Alor Setar dan Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad. YB Datuk Dr. Radzi Jidin turut meluangkan masa menyantuni para pelajar, guru dan pihak yang terlibat dengan pameran di reruai pameran masing-masing." "26 Judul Buku Sokongan Pendidikan Bahasa Melayu Sekolah Rendah Terbitan DBP Dilancarkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Bahasa memanfaatkan peluang dengan melancarkan 26 judul Buku Sokongan Pendidikan Bahasa Melayu Sekolah Rendah khusus untuk kegunaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil bertempat di Pentas Utama, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.\nPelancaran buku tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Puan Lim Hui Ying pada pagi tadi. Menerusi majlis tersebut, Timbalan Menteri Pendidikan mengucapkan tahniah kepada penulis dan DBP kerana dapat menghasilkan buku sokongan pendidikan untuk kegunaan para pelajar. Ujar beliau menerusi majlis tersebut:\n\u201cKandungan buku yang ditulis adalah berpandukan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang menekankan gabungan kemahiran bahasa dalam mempelajari ilmu baharu. Kepelbagaian latihan dan konsep soalan yang dimuatkan dalam buku ini adalah berdasarkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), peta pemikiran i-Think dan selaras dengan konsep Pembelajaran Abad ke-21.\u201c\nMenurut Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji\u00a0 Md Johari Hasan dalam ucapan alu-aluannya, usaha menerbitkan buku sokongan pendidikan ini ialah hasil kerjasama DBP dengan\u00a0 penulis bukan Melayu yang mahir dengan seni bahasa dan tatabahasa bahasa Melayu. Dalam usaha ini, DBP sedang giat melaksanakan penerbitan buku, khususnya dalam bahasa Melayu bagi semua bidang dan peringkat terutama dalam bidang pengajaran Bahasa Melayu.\nSementara itu, penulis Buku Panduan Imbuhan Awalan Kata Kerja dan Kuasai Kata Pemeri, YBhg. Profesor Dr. Vijayaletchumy a/p Subramaniam dalam ucapannya menyatakan\u00a0 bahawa generasi Z dan Alfa masih memerlukan bahan pengajaran dan pembelajaran bercetak untuk memori jangka masa panjang. Generasi tersebut memerlukan pendekatan yang dapat menarik minat mereka untuk belajar seperti penggunaan ayat yang pendek, formula, akrustik dan grafik yang dapat merangsang minda mereka. Para penulis pula perlu meletakkan diri mereka dalam lingkungan generasi Z dan Alfa bagi membolehkan mereka menyediakan kandungan yang selari dengan kehendak dan keperluan generasi tersebut.\nTurut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Mohd Khair Ngadiron dan Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa, Yang Mulia Tengku Fauziah Ku Mat." "Pemangku Raja Perlis Berkenan Merasmikan Hub Komuniti @ PTSFP UniMAP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra \u2013 Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Hub Komuniti @ Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di He & She Cafe, Kampus Alam Pauh Putra, semalam.\nKeberangkatan tiba Baginda merangkap Canselor bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor disambut oleh Naib Canselor UniMAP, YBhg. Prof Datuk Dr. Ir Ts Zaliman Sauli.\nTurut hadir ialah Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, YBrs. Encik Shaiful Rizal Abd Ghani dan Penolong Pengarah Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan Negeri Perlis, YBrs. Encik Mohd Zulhimi Rosli.\nTuanku Syed Faizuddin Putra bertitah,\nGunakan sumber ilmu yang ada sebaiknya. Setiap perpustakaan yang ada telah menyediakan bahan bacaan dan sumber ilmu yang tidak terkira banyaknya. Jadi, adalah menjadi satu kerugian jika kita tidak menggunakannya untuk menambah ilmu di dada kita.\nJemput dan ajaklah ahli keluarga dan sahabat handai untuk mengunjungi hub komuniti yang terdekat. Hal ini kerana kita memerlukan komuniti yang celik dan cakna dengan ilmu pengetahuan yang terkini agar kita tidak ketinggalan di belakang orang lain.\nTitah Tuanku Pemangku Raja lagi,\nKini, penggunaan pelantar media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok, dan juga Twitter adalah begitu meluas sekali. Jadi, kita seharusnya menggunakan pelantar-pelantar sebegini untuk menyebarkan dan berkongsi tentang kebaikan dan manfaat yang boleh didapati di hub komuniti. Secara tidak langsung, masyarakat sekeliling juga akan memperoleh faedah daripada penggunaan hub komuniti ini.\nZaliman pula dalam ucapan aluannya terdahulu daripada itu berkata, majlis perasmian Hub Komuniti @ PTSFP ialah salah satu inisiatif berimpak dalam memperkasa strategi libat sama dan pembangunan komuniti. Melalui deklarasi inisiatif Hub Komuniti, Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra komited untuk merangka, melaksana dan meluaskan impak sumber maklumat, fasiliti, perkhidmatan dan kepakaran untuk kesejahteraan komuniti.\nDalam majlis yang sama Baginda berdua berkenan menyaksikan penyampaian surat tawaran perkhidmatan negeri disampaikan oleh Pengurus Besar, Encik Syaiful Rizal mewakili Yayasan Bank Rakyat kepada 10 buah keluarga anak autisme.\nBaginda berdua turut melawat pameran dan program Hub Komuniti dengan reka bentuk 3D\u00a0melibatkan 15 pelajar sekolah, dan juga dengan pemandangan panorama atau \u201cpanorama view\u201c dengan 14 pelajar terbabit serta menyantuni anak-anak autisme yang hadir.\nUntuk rekod, PTSFP menawarkan akses kepada jutaan teks penuh e-jurnal, e-buku dan lebih 100,000 objek digital bahan pembelajaran dan penyelidikan yang dihasilkan oleh warga UniMAP. Sumber ini boleh diakses di pelantar Hub Komuniti@ PTSFP di aras satu bangunan berkenaan." "UiTM Perlis Bantu Jabatan Perhutanan Negeri Perlis Mencapai Malaysia Book of Record Sempena Perlis Green Hour 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Batu Pahat \u2013 UiTM Cawangan Perlis telah terlibat secara langsung dalam kempen Perlis Green Hour 2023, seterusnya membantu Jabatan Perhutanan Negeri Perlis mencapai pengiktirafan daripada Malaysia Book of Record dalam penanaman sebanyak 150 354 pokok di seluruh negeri Perlis.\nPemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamallulail dan DYTM Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Datuk Khalil berkenan berangkat ke Program Perlis Green Hour 2023 yang diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-80 Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis.\nDalam kempen tersebut, Jabatan Perhutanan Negeri Perlis telah menyumbang sebanyak 2000 pokok kepada UiTM Cawangan Perlis yang terdiri daripada pelbagai spesis pokok seperti, Tekoma (200 pokok); Cassia Fistula (50 pokok); Bucida (50 pokok); Kasai (100 pokok), Kelat Paya (100 pokok), Merawan Siput Jantan (500 pokok), Meranti Temak Nipis (500 pokok), Jati (200 pokok), Merbau (50 pokok), Durian (200 pokok) dan Gajus (50 pokok).\nSelain itu, UiTM Cawangan Perlis turut memberikan sumbangan kepakaran dari sudut teknikal teknologi maklumat untuk memastikan siaran langsung program penanaman dapat disiar dan dipancarkan secara serentak dari seluruh negeri Perlis.\nDalam titah diraja, Pemangku Raja Perlis menzahirkan kebanggaan atas kejayaan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dan sokongan seluruh rakyat Perlis dari 15 kawasan DUN Perlis serta seluruh agensi persekutuan, agensi negeri dan badan berkanun kerana dapat mencipta satu rekod yang amat signifikan kepada negeri Perlis.\nTitah Baginda lagi, program sebegini dapat membantu mengekalkan kawasan hijau di seluruh negeri Perlis serta dapat merakyatkan komitmen dan semangat pengekalan kawasan liputan hijau sebagai satu agenda nasional.\nUntuk rekod, program turut dihadiri oleh beberapa Ketua Jabatan dan wakil daripada beberapa agensi di negeri Perlis." "PBAKL 2023 Melabuhkan Tirai, Himpun Lebih 1.5 Juta Pengunjung\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Penganjuran PBAKL 2023 yang berlangsung di Pusat Dagangan Kuala Lumpur melabuhkan tirainya hari ini setelah berlangsung selama 10 hari, iaitu bermula dari 26 Mei 2023 hingga 4 Jun 2023.\nPBAKL yang memasuki edisi ke-40 pada tahun ini menghimpunkan 256 pempamer yang terdiri daripada penerbit buku dari dalam dan luar negara.\nPada tahun ini, PBAKL 2023 menawarkan lebih 20 ribu judul bahan bacaan pelbagai genre mengikut kesesuaian umur dan latar belakang pembaca.\nLebih menarik, jumlah pengunjung PBAKL 2023 meningkat sebanyak 30 peratus pada masa sehari yang menjadikan jumlah pengunjung melebihi 1.5 juta orang berbanding dengan 1.3 juta orang pada tahun 2022.\nDalam hal ini, golongan remaja merupakan pengunjung tertinggi berdasarkan kajian awal yang dilakukan.\nYB. Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) dalam ucapan perasmian penutupan berkata bahawa nilai dan makna di sebalik penganjuran PBAKL bukanlah diukur pada jumlah bilangan pengunjung dan jualan buku semata-mata, tetapi seharusnya dinilai dari sudut keupayaan dan kewibawaan PBAKL menjadi pencetus serta penggerak semangat keilmuan dalam kalangan masyarakat.\n\u201cKita berharap agar PBAKL ini menjadi pesta buku yang tersohor bukan sahaja di Asia Tenggara, tetapi juga di dunia. Komitmen Perdana Menteri sendiri yang menghargai budaya ilmu akan merancakkan lagi industri perbukuan negara,\u201d kata beliau.\nTambah beliau, gerakan yang diusahakan bagi memperkukuh budaya membaca sebagai agenda penting negara harus diteruskan.\nSelain itu, industri buku juga perlu diperkasakan demi menghasilkan sumber ilmu pengetahuan yang meluas dan berkualiti pada masa hadapan.\nSelain jualan buku, PBAKL 2023 turut menganjurkan Pameran Hak Cipta ASEAN yang melibatkan 14 buah negara, iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam, Filipina, Perancis, China, India, Bangladesh, Amerika Syarikat, Turkiye, Korea Selatan dan Nepal. Pameran ini berjaya menghasilkan 196 sesi padanan perniagaan.\nDalam majlis penutupan tersebut juga lima penerbit memenangi lima kategori anugerah reruai yang dipertandingkan sempena PBAKL 2023. Antara reruai yang memenangi anugerah tersebut ialah:" "Sebanyak 10 109 Calon SPM 2022 Memperoleh Keputusan Cemerlang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013\u00a0Berdasarkan pelaporan analisis keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022, sebanyak 10 109 calon memperoleh keputusan cemerlang (gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran berbanding dengan 9696 calon pada tahun 2021.\nKetua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Haji Pkharuddin Haji Ghazali berkata lebih 403 637 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM tahun 2022 di 3355 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.\nPencapaian SPM tahun 2022 telah menunjukkan peningkatan dari aspek gred purata dan peratus layak sijil. Hal ini membuktikan bahawa usaha yang dilaksanakan pada peringkat KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah berada pada landasan yang betul.\n\u201cPencapaian calon pada kali ini adalah lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) adalah sebanyak 4.74 berbanding dengan 4.86 pada tahun 2021, iaitu perbezaan sebanyak 0.12 mata.\nDemikian jelas beliau ketika menyempurnakan pengumuman keputusan peperiksaan SPM Tahun 2022 di Kompleks E8 Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada pagi tadi.\nSementara itu, Datuk Haji Pkharuddin turut memaklumkan bahawa bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran adalah sebanyak 75 322 calon berbanding dengan 71 842 calon pada tahun 2021, iaitu peningkatan sebanyak 3480 calon.\nBagi calon yang memperoleh sekurang-kurangnya lulus dalam semua mata pelajaran pula adalah lebih 128 193 calon berbanding dengan 129 796 calon pada tahun 2021.\nSelain itu, sebanyak 1490 orang Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK), iaitu dalam kalangan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) telah menduduki peperiksaan SPM tahun 2022. Berdasarkan jumlah tersebut, sebanyak 75.8 peratus CBPK layak memperoleh sijil SPM tahun 2022 berbanding dengan 69.1 peratus pada tahun 2021.\nMengulas lanjut, beliau berkata calon boleh mendapatkan slip keputusan peperiksaan SPM tahun 2022 secara dalam talian, di samping menyemak keputusan melalui sistem pesanan ringkas (mySMS).\nUjar beliau, KPM sentiasa menitikberatkan kualiti dan standard sijil SPM menerusi kerjasama dengan badan-badan pentaksiran luar negara.\nUsaha ini adalah untuk memastikan hasrat melahirkan Anak yang Baik Lagi Cerdik dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah pada peringkat global.\nFoto: Khai DBP." "SPM 2022\u00a0Catat Pencapaian Terbaik dalam Syarat Pensijilan\u00a02013 \u2013 Datuk Haji Pkharuddin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Peratus calon yang layak menerima sijil SPM 2022 menunjukkan peningkatan kepada 91.6 peratus berbanding dengan 88.1 peratus pada tahun 2021.\nKetua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Haji Pkharuddin Haji Ghazali berkata bahawa pelaksanaan sesi akademik 2022/2023 dalam fasa endemik ini memberikan ruang kepada calon untuk meningkatkan kesediaan bagi menghadapi peperiksaan dengan lebih baik.\n\u201cPeningkatan ini adalah sebanyak 3.5 peratus dan juga merupakan pencapaian terbaik sejak syarat pensijilan 2013 diperkenalkan dan buat julung kalinya, iaitu melebihi 90 peratus,\u201d\u00a0\u00a0kata beliau dalam sidang media pengumuman peperiksaan SPM Tahun 2022 di Bilik Mesyuarat Utama, Kompleks E8 Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.\nMenurut beliau, tahun ini merupakan tahun kedua format baharu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diperkenalkan bagi 75 daripada keseluruhan 95 mata pelajaran yang ditawarkan.\nKesemua mata pelajaran yang diuji adalah berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), yakni diperkenalkan pada tahun 2017\u00a0dalam peperiksaan SPM tahun 2021\u00a0yang lalu.\nMelalui format baharu ini, KPM melaporkan kemahiran lisan murid melalui Ujian Bertutur dan Ujian Mendengar bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.\nUlas beliau, mata pelajaran Bahasa Inggeris juga dijajarkan kepada Common European Framework of Reference for Languages (CEFR). Penguasaan Bahasa Inggeris calon dilaporkan dalam dua bentuk pelaporan, iaitu dalam gred SPM dan tahap CEFR.\nDalam perkembangan yang sama, Datuk Haji Pkharuddin memaklumkan bahawa jurang pencapaian calon SPM tahun 2022 antara bandar dengan luar bandar semakin mengecil, iaitu sebanyak 0.03 mata berbanding dengan SPM tahun 2021.\nFoto: Khai DBP." "Anak Menteri Pendidikan Raih Keputusan Cemerlang SPM 9A\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek berkesempatan meluangkan masa meninjau Pengumuman Rasmi Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia SPM 2022 Peringkat Wilayah Persekutuan di Dewan al-Qaradhawi, Sekolah Menengah Agama (SMA) Majlis Agama Islam Wilayah (MAIWP) pada pagi tadi.\nYang menariknya, anak beliau, Thurayya Fadhilah Mohd Fadzli juga turut bersekolah di situ serta mendapat keputusan SPM yang cemerlang, iaitu 9A dan 2B+. YB Fadhlina Sidek yang anggun berbaju kurung merah bersama-sama dengan suaminya, Mohd Fadzli dilihat duduk bersama-sama dengan para ibu bapa pelajar sekolah tersebut.\nKeputusan SPM 2022 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 4.75, iaitu lebih baik berbanding dengan SPM 2021 dengan GPN sebanyak 0.06.\n\nSebanyak 17 calon daripada keseluruhan pelajar yang menduduki SPM di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 2022 berjaya memperoleh keputusan cemerlang tinggi Gred A+ bagi semua mata pelajaran. Kejayaan tersebut merupakan peningkatan peratusan sebanyak 0.11 peratus.\nYB Fadhlina turut beramah mesra dan menyantuni para pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam majlis pengumuman tersebut." "UTP Johan Pertandingan Debat Antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu \u2013 Universiti Teknologi Petronas (UTP) dinobat sebagai johan Pertandingan Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Piala Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tahun 2023 dengan mengalahkan pasukan debat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada pertandingan akhir yang berlangsung di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS).\nSejumlah 40 pasukan pendebat yang terdiri daripada Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Institut Pendidikan Guru, Institusi Pendidikan MARA, Politeknik dan Kolej Komuniti dari seluruh negara telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini yang dianjurkan oleh SPRM dengan kerjasama Majlis Debat Universiti-universiti Malaysia (MADUM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), UMS, Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) dan Farm Fresh Sdn. Bhd.\nKetua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Azam Baki dalam ucapan perasmian penutupan menggesa masyarakat untuk memasang iltizam dan keinginan untuk bersama-sama dengan SPRM ke arah negara yang bersih dan bebas rasuah.\nTurut hadir ialah Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Md. Mansur, Naib Canselor UMS dan Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah mewakili Ketua Pengarah DBP." "Krisis Keluarga dari Perspektif Siasatan Polis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKrisis atau perselisihan faham boleh terjadi dalam kalangan ahli keluarga dan saudara-mara. Antara puncanya termasuklah pergolakan rumah tangga yang melibatkan ahli keluarga suami dan isteri atau pihak ketiga, persaingan untuk merebut harta pusaka, masalah hutang yang serius dan penyalahgunaan dadah.\nPerselisihan faham seperti ini menjadi parah apabila ahli keluarga yang mempunyai pendapat, naratif atau kepentingan yang berlawanan bertindak ganas dan melakukan kecederaan fizikal. Pertikaman lidah sesama ahli keluarga juga boleh menyebabkan keganasan akibat dipengaruhi emosi atau kemarahan yang terpendam sejak sekian lama.\nProses Siasatan dan Sabit Kesalahan\nJika perkelahian keluarga yang serius seperti ini tercetus, ahli keluarga yang terlibat akan berhadapan dengan tindakan undang-undang apabila insiden ini dilaporkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pegawai penyiasat (IO) akan membuka Kertas Siasatan (IP) untuk menyiasat dan mengenal pasti motif pergaduhan, kesalahan, saksi dan bukti. Langkah seterusnya, IO akan memanggil semua pihak yang terlibat dengan pergaduhan tersebut untuk merakam percakapan mereka.\nSekiranya tempat insiden pergaduhan tersebut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV), rakaman CCTV akan diteliti oleh pasukan siasatan untuk melihat apa-apa yang telah berlaku dan jika terdapat kesalahan jenayah semasa pergaduhan. Rakaman tersebut juga akan membantu IO dan pasukan siasatannya mengenal pasti sama ada insiden pergaduhan selari dengan rakaman percakapan pengadu dan lain-lain orang yang terlibat.\nJika perbalahan keluarga didapati melibatkan lima orang atau lebih, tanpa penggunaan sebarang senjata atau objek yang berbahaya, mereka yang terlibat boleh didakwa di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (KK) kerana merusuh. Menurut seksyen ini, seseorang yang disabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali. Manakala jika didapati ada penggunaan senjata, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 148 KK dan boleh dijatuhi hukuman hingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.\nPun begitu, jika rusuhan tersebut mengakibatkan mana-mana orang yang terlibat mengalami kecederaan sehingga mengalami kecacatan kekal, maka orang yang menyebabkan kecacatan tanpa menggunakan senjata itu boleh didakwa di bawah Seksyen 325 KK. Sekiranya senjata telah digunakan, orang tersebut boleh didakwa di bawah Seksyen 326 KK. Untuk kesalahan di bawah Seksyen 325 KK, hukumannya ialah penjara hingga tujuh tahun dengan denda, manakala bagi Seksyen 326 KK pula, hukumannya ialah penjara maksimum 20 tahun dengan denda atau sebatan. Harus diingat, bagi membuktikan kesalahan yang melibatkan kecederaan serius, laporan perubatan daripada pihak hospital kerajaan amat kritikal untuk memastikan pelaku disabitkan kesalahan dan mendapat hukuman yang setimpal.\nGaduh Gempar\nSeksyen 160 KK akan diaplikasikan jika pergaduhan keluarga hanya melibatkan kurang daripada lima orang dan mengakibatkan kecederaan ringan ataupun dalam istilah perubatan disebut sebagai \u201ckecederaan tisu lembut\u201d. Istilah perundangan bagi pergaduhan seperti ini ialah \u201cgaduh gempar\u201d.\nDalam kes gaduh gempar, pihak yang terlibat boleh dijatuhi hukuman penjara hingga enam bulan atau denda, atau kedua-duanya sekali. Oleh sebab pergaduhan seperti ini dikategorikan sebagai kesalahan tidak boleh ditangkap, mereka yang terlibat tidak boleh ditangkap oleh pihak polis tanpa waran.\nNamun begitu, jika ahli keluarga yang terlibat dalam gaduh gempar enggan memberikan kerjasama dalam siasatan yang dijalankan oleh IO, maka IO boleh memohon waran tangkapan daripada majistret. Lazimnya, waran seperti ini akan digunakan jika ahli keluarga enggan ke balai polis untuk memberikan keterangan. Waran turut dikeluarkan oleh majistret sekiranya mereka gagal hadir di mahkamah sama ada untuk proses pertuduhan atau bicara.\nAntara lainnya, krisis keluarga yang bertukar menjadi pergaduhan dalam kalangan ahli keluarga terdekat dikategorikan sebagai keganasan rumah tangga dan akan disiasat di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga. Pergaduhan di bawah kategori ini disiasat oleh Unit D11 yang merupakan unit khas di bawah Bahagian Siasatan Jenayah PDRM. Jika IP dibuka terhadap seseorang di bawah akta ini, orang tersebut boleh ditangkap tanpa waran meskipun hanya melakukan kesalahan tidak boleh tangkap seperti hanya menyebabkan kecederaan ringan dengan memukul ahli keluarganya yang terdekat.\n\u201cKerana Mulut Badan Binasa\u201d\nPada kebanyakan masanya, rusuhan atau gaduh gempar menyaksikan pergaduhan mulut yang mengeluarkan kata-kata bersifat ugutan. Jika kata ugutan tersebut jelas dengan niat untuk menyebabkan kecederaan serius, kematian atau untuk menyebabkan kebakaran, orang yang mengeluarkan kata-kata tersebut boleh didakwa di bawah Seksyen 506 KK yang membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali kerana menakutkan seseorang secara jenayah.\nSeksyen yang sama juga boleh digunakan sekiranya kata-kata yang dilontarkan itu bersifat tohmahan terhadap golongan perempuan seperti melabelkan mereka sebagai \u201cjalang\u201d. Yang menariknya, Seksyen 506 KK juga boleh digunakan jika mana-mana ahli keluarga yang terlibat dalam pergaduhan menunjukkan gerak-geri yang menakutkan mana-mana pihak lawan dengan syarat ketakutan tersebut dapat dibuktikan.\nAspek Emosi dan Rasional dalam Kes Pergaduhan\nSecara umumnya, selepas berlakunya sesuatu perbalahan keluarga, kedua-dua pihak yang terlibat bergegas ke balai polis terdekat untuk membuat laporan polis dengan harapan agar tindakan tegas terhadap pihak lawan mereka dapat diambil dengan kadar segera. Disebabkan emosi dan kemarahan yang membuak, ditambah pula dengan permusuhan yang terpendam sejak sekian lama, pihak pengadu selalunya menggesa polis untuk menangkap pihak lawan mereka dengan segera.\nNamun begitu, dalam perihal siasatan, pihak PDRM tidak boleh mengambil tindakan melulu mengikut telunjuk mana-mana pihak. PDRM perlu akur kepada prosedur operasi standard (SOP) siasatan yang dirangka berdasarkan akta seperti KK, Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) dan Akta Keterangan (AK).\nJika SOP yang ditetapkan ini tidak dipatuhi, maka siasatan akan menjadi berat sebelah dan boleh mengakibatkan orang yang tidak bersalah dihukum atau orang yang bersalah terlepas daripada tindakan undang-undang. Tindakan lanjut dalam sesuatu siasatan hanya boleh diambil oleh pihak polis selepas selesainya siasatan pada peringkat awal. Siasatan pada peringkat awal seharusnya membolehkan IO dan pasukan siasatannya menilai tentang sesuatu pergaduhan keluarga berdasarkan naratif dari perspektif kedua-dua belah pihak yang terlibat. Setelah membuat penilaian yang seimbang, IO boleh mengambil tindakan susulan yang betul dan adil dari segi undang-undang.\nNamun demikian, kebanyakan masa, siasatan polis terhadap pergaduhan melibatkan keluarga akan menyebabkan pelibatan aktif kedua-dua belah pihak. Penglibatan aktif ini akan mengakibatkan pihak polis untuk menangkap kedua-dua belah pihak tanpa mengira sesiapa pun yang memulakan pergaduhan terlebih dahulu. Lantaran itu, kebanyakan masa, kedua-dua pihak yang terlibat dalam pergaduhan akan memilih untuk menyelesaikan perselisihan faham sesama mereka lalu menarik balik laporan polis masing-masing tanpa paksaan daripada mana-mana pihak. Dengan cara itu, mereka mengelakkan campur tangan polis seperti tangkapan, reman dan pertuduhan di mahkamah.\nSungguhpun demikian, sekiranya mana-mana pihak yang terlibat dalam pergaduhan keluarga itu mengalami kecederaan serius atau kecacatan kekal, tangkapan dan tindakan susulan yang lain masih akan diteruskan sehingga mereka yang bersalah dihadapkan ke mahkamah untuk dijatuhi hukuman yang setimpal.\nPenyelesaian Dalaman dan Peranan PDRM\nSesungguhnya memberikan nasihat untuk mengelakkan pergaduhan keluarga yang serius agar tidak melibatkan campur tangan pihak polis memang tampak mudah. Namun begitu, insiden seperti ini boleh diibaratkan sebagai bom masa yang boleh meletup pada bila-bila masa, terutamanya bagi keluarga yang mempunyai krisis terpendam sejak sekian lama.\nBarangkali, antara penyelesaiannya termasuklah mengenal pasti punca krisis keluarga yang terpendam dan mengadakan perbincangan ke arah penyelesaian. Jika perbincangan tidak berhasil, maka pelibatan pihak ketiga seperti mahkamah dan peguam mungkin dapat membantu. Di samping itu, golongan tua dalam keluarga bertanggungjawab untuk mewasiatkan harta pusaka secara adil dan saksama bagi mengurangkan rasa tidak puas hati dalam kalangan keluarga.\nDalam pada itu, sikap pengorbanan dalam kalangan adik beradik bagi mengelakkan persaingan sengit dalam hal harta pusaka juga boleh mengurangkan pergaduhan keluarga yang serius secara berkesan. Namun begitu, perkara ini lebih mudah dilakukan oleh ahli keluarga yang sudah memiliki kekayaan sendiri ataupun ahli keluarga yang lebih menghiraukan kekayaan di akhirat. Walau apa-apa pun, pergaduhan dalam kalangan ahli keluarga memerlukan penyelesaian yang kreatif memandangkan setiap ahli keluarga mempunyai corak tadbir urus yang tersendiri.\nObjektif utama rencana ini ditulis adalah untuk menjelaskan peranan PDRM dari aspek siasatan sekiranya sesuatu pergaduhan keluarga yang tidak dapat dikawal oleh institusi keluarga itu sendiri dilaporkan kepada PDRM. Lebih penting lagi, rencana ini juga bertujuan untuk mengurangkan perasaan kecewa, kekeliruan dan spekulasi orang awam terhadap pasukan PDRM yang sememangnya tidak boleh menjalankan siasatan mengikut kehendak pihak pengadu semata-mata. Pihak PDRM sentiasa komited untuk menjalankan penyiasatan secara adil dan saksama mengikut lunas undang-undang jenayah yang sedia ada. Seperti orang awam, PDRM juga mempunyai tujuan yang sama, iaitu mengheret pesalah yang sebenar ke muka pengadilan.\nACP Mohamad Farouk Eshak, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor." "UniMAP Memperkukuh Modal Insan melalui Kerangka Pendidikan Anjal UniMAP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau\u00a0\u2013\u00a0Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus komited mempelopori pendidikan secara fleksibel melalui Kerangka Pendidikan Anjal UniMAP (UniMAP Flexible Education Framework) seiring dengan perkembangan teknologi semasa dan evolusi kehidupan masyarakat.\nPemangku Raja Perlis, DYMM\u00a0Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kerangka ini akan membolehkan pelbagai lapisan masyarakat pada peringkat tempatan dan antarabangsa\u00a0untuk\u00a0mendapat akses pengajian tinggi, di samping memastikan hasrat pembelajaran sepanjang hayat benar-benar dapat dilaksanakan.\nKerangka ini membolehkan pekerjaan dan pembelajaran formal bersilih ganti dalam tempoh dan laluan kerjaya seseorang, bukan bersifat linear, dan boleh dilaksanakan melalui pelbagai platform pada masa yang sesuai kepada pelajar.\u201d\n\u201cSalah satu perubahan tingkah laku yang semakin dapat dilihat sekarang adalah berkaitan dengan pendekatan generasi masa ini tentang pekerjaan dan pembelajaran.\u201c\n\u201cKita mendapati bahawa terdapat dalam kalangan lepasan sekolah memilih untuk bekerja dahulu atas sebab tertentu dan semakin ramai juga dalam kalangan mereka yang sudah berada dalam alam pekerjaan memilih untuk menyambung pengajian masing-masing.\nMenurut baginda, model pendidikan universiti seperti kebiasaan,\u00a0iaitu pelajar masuk ke universiti selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)\u00a0atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), tamat pengajian selepas tiga\u00a0atau empat\u00a0tahun dan kemudian masuk ke alam pekerjaan mungkin semakin kurang relevan berbanding dahulu.\nJadi sebagai langkah proaktif, sokongan harus diberikan kepada UniMAP apabila kerangka ini diterjemahkan kepada tindakan, terma seperti Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL), kursus modular, microcredentials, The Online Distance Learning (ODL) dan sebagainya.\nDemikianlah\u00a0titah Pemangku Raja Perlis selepas berkenan berangkat mengetuai program kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) baru-baru ini.\nTurut serta dalam program tersebut ialah Timbalan-Timbalan Komandan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) Malaysia yang menghadiri Majlis PALAPES UA yang dituanrumahkan oleh UniMAP pada kali ini.\nDalam perkembangan lain, baginda turut berkenan singgah menyantuni dan menyampaikan agihan zakat MAIPs kepada Che Amad Zaury, 56 tahun; Mahamud Ismail, 84 tahun; dan Che Ashah Taha, 89 tahun yang kesemuanya tinggal di Kampung Jelempok. Masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM700." "Frasa: \u201cKisah Hidup\u201d atau \u201cKisah Kehidupan\u201d?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nFrasa yang manakah yang lebih tepat antara kisah hidup dengan kisah kehidupan?\nDaripada:\nNor Shakirah Tazali,\nSeri Kembangan, Selangor." "Wartawan, Media Bukan Sekadar Lapor Berita, Turut Mencetuskan Idea Pembinaan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u2013\u00a0 \u201cWartawan harus bebas tegur, kritik dan memberikan idea biarpun berbeza pandangan dalam membina serta menjadikan tatakelola pentadbiran lebih baik\u201c.\nDemikian kata-kata YAB Perdana Menteri, Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan pada Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2023 sempena Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2022 di Hotel Majestic, semalam.\nKemudahan media yang ada perlu dijadikan platform untuk mendidik anak bangsa dengan memupuk semangat membaca.\nBeliau berkata golongan wartawan juga berperanan sebagai pendidik dalam mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk mempunyai minat terhadap membaca bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa.\nTambahnya, sesuatu isu yang berlaku dalam negara termasuk soal dasar dan tatakelola tidak dapat dicakna dengan baik tanpa minat membaca yang mendalam dan hal ini merupakan cabaran untuk merealisasikan makna Malaysia MADANI.\nMWM adalah acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh\npengamal media Malaysia bertujuan meraikan karya kewartawanan terbaik sepanjang tahun 2022.\nTahun ini menyaksikan sebanyak 44 organisasi media bersaing untuk memenangi hadiah utama HKM 2022, iaitu pemenang emas dengan nilai wang hadiah RM\n10 000.\nMenurut Pengerusi MWM 2023, Datuk Dr. Chamil Wariya; \u201cTahun ini memperlihatkan\npeningkatan penyertaan HKM berbanding dengan tahun sebelumnya, iaitu sebanyak 386 penyertaan berbanding 350 yang diterima tahun sebelumnya. Penyertaan tertinggi diterima daripada kategori Berita Video Terbaik dengan 57 penyertaan, disusuli Penulisan Rencana Cemerlang dengan 50 penyertaan dan Kewartawanan Foto Cemerlang, iaitu 38 penyertaan\u201d.\nPenolong Pengarang Berita Harian Metro (HM), Yusmizal Dolah Aling, 41, merangkul hadiah utama, Hadiah Kajai menerusi siri laporannya bertajuk \u201cTerima Kasih Laoshi\u201c, \u201cHadiah Raya Paling Bermakna\u201c, \u201cRohana Abdullah Kini Warga Malaysia\u2019 dan \u201cSanjung Budi Laoshi\u201c.\nTurut sama hadir Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil; Timbalan\nMenteri Komunikasi dan Digital, YB Teo Nie Ching; dan Puan Liza Mustapha, Naib\nPresiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan PETRONAS.\nLebih 800 tetamu yang sebahagian besarnya komuniti pengamal media, pengamal komunikasi korporat dan perhubungan hadir mewarnai majlis tersebut. Majlis dimeriahkan dengan persembahan nyanyian oleh artis terkemuka negara, iaitu Dayang Nurfaizah dan Haziq." "Pelibatan Belia dalam Sektor Agromakanan harus Dipergiat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Sektor agromakanan di negeri Perlis hendaklah turut diceburi oleh anak muda atau golongan belia. Pelaksanaan Projek Usahawan Tani Perlis Superfruits Valley yang berusaha untuk melahirkan lebih banyak usahawan tani berjaya dalam kalangan graduan belia hendaklah diberikan perhatian serius. Hingga kini, sebanyak lapan orang graduan belia telah berjaya dilatih dan diharapkan agar usaha sebegini akan dapat membantu memacu kelestarian sekuriti makanan negara.\nDemikian titah Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada sebanyak 70 penerima dari kariah Behor Temak dan 70 lagi penerima dari kariah Kota Kayang di Masjid Al-A\u2019la, Behor Temak, Kangar baru-baru ini.\nTurut serta ialah kepimpinan tertinggi Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang diketuai oleh Rektor, Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle.\nPemangku Raja Perlis turut mengingatkan para pensyarah KUIPs agar sentiasa meletakkan integriti dan sifat dedikasi yang tinggi dalam mendidik pelajar kerana cara ini akan membentuk graduan supaya menjadi insan yang berjaya dan akan menjadi generasi harapan terhadap bangsa dan negara.\nTambah baginda,\nPelajar KUIPs diharapkan agar dapat membuktikan keupayaan masing-masing pada tahap optimum melalui kesungguhan, semangat tidak putus asa dan sifat dedikasi yang tinggi untuk meneruskan dan menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing.\nBersempena dengan program tersebut, baginda kemudiannya berkenan berangkat mengetuai program kayuhan berbasikal MAIPs Peduli yang bermula dan berakhir di perkarangan masjid tersebut.\nKeluarga yang disantuni dan diserahkan sumbangan agihan zakat MAIPs oleh baginda ialah Aishah Din, 73 tahun dari Behor Temak; Alus Ahmad, 77 tahun dari di Kg Hutan Melintang; dan Puan Ibrahim 74 tahun dari Kg Behor Gonchar. Setiap seorang menerima RM700." "UMK Merakyatkan Agenda Malaysia MADANI\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBachok\u00a0\u2013 Universiti Malaysia Kelantan mengadakan program Wacana Malaysia MADANI di Dewan Tuanku Canselor\u00a0bagi memberikan pendedahan dan informasi yang komprehensif mengenai kerangka dasar\u00a0baharu yang diperkenalkan oleh\u00a0kerajaan, di samping merakyatkan agenda Malaysia MADANI.\nProgram anjuran Pusat Pemikiran Peradaban dan Pembangunan Insan (PEMIKIR), Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan, UMK\u00a0\u00a0ini disertai oleh hampir 800 orang peserta yang terdiri daripada staf dan mahasiswa UMK, mahasiswa UiTM Kelantan dan pelajar Kolej Vokasional Bachok, Kelantan.\nProgram ini menampilkan dua tokoh ilmuwan terkemuka negara khususnya dalam bidang tamadun dan peradaban,\u00a0iaitu Profesor Datuk Dr. Azizan Baharuddin, Pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya dan Profesor Dr. Zaid Ahmad, Profesor Jabatan Pengajian Ketamadunan dan Kenegaraan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, manakala pemudah caranya ialah Dr. Muhamad Razak Idris, Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).\nSesi \u00a0wacana dimulai dengan pembentangan pertama oleh Profesor Dr. Zaid bertajuk \u201cMembangun Malaysia MADANI: Falsafah, Konsep dan Hala Tuju\u201d, dengan menjelaskan mengenai falsafah dan matlamat di sebalik konsep madani yang telah dilancarkan oleh YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia pada 19 Januari\u00a02023 yang lepas.\nBeliau menegaskan bahawa Malaysia MADANI\u00a0merupakan suatu usaha islah mengangkat semula peradaban manusia supaya kembali kepada fitrah dan amanah sebagai khalifah Allah\u00a0SWT.\nSementara itu, pada sesi pembentangan kedua pula, Profesor Datuk Dr. Azizan telah merungkai permasalahan semasa yang dialami oleh umat manusia dan alam sekitar, serta kaedah yang mampan dalam mengatasinya melalui perkongsian bertajuk \u201cMembangun Malaysia MADANI: Strategi Pengukuhan dan Kelestarian\u201d.\nBeliau berpandangan bahawa rukun Ihsan dalam akronim MADANI yang berprinsipkan\u00a0keimanan kepada Allah SWT seharusnya diangkat menjadi nilai penting yang perlu dihayati agar krisis global yang dihadapi masyarakat dunia dapat diatasi melalui kesedaran dan perubahan kendiri.\nMengulas lanjut mengenai penganjuran wacana ini, UMK berperanan penting dalam usaha mempromosikan agenda nasional kepada semua pihak supaya tidak timbul kekeliruan dan percanggahan pandangan dalam kalangan masyarakat, khususnya di Kelantan. Usaha ini diharapkan dapat menyumbang kepada perubahan berfikir golongan belia supaya lebih terbuka dan dinamik. Nilai\u00a0peradaban berasaskan kerangka Malaysia MADANI harus ditanam sekali\u00a0gus dihayati dalam jiwa belia negara harapan bangsa.\nProgram wacana ini telah dirasmikan oleh Profesor Dato\u2019 Dr. Razli Che Razak, Naib Canselor UMK. Dalam ucapan perasmian, beliau menegaskan bahawa seiring dengan usaha kerajaan yang berhasrat memacu pembangunan negara berasaskan 6 Rukun MADANI, iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan, seluruh warga UMK komited menyahut seruan kerajaan ini untuk terus maju dari segi pemikiran dan tindakan, serta berusaha membentuk masyarakat dengan nilai murni berlandaskan latar budaya dan masyarakat Malaysia.\nSecara umumnya, peserta memberikan respon positif terhadap penganjuran wacana ini. Oleh itu, menjadi satu harapan agar wacana sebegini dapat dianjurkan dari semasa ke semasa supaya agenda merakyatkan Malaysia MADANI dapat disebarkan kepada seluruh rakyat.\nDr. Burhan Che Daud, Dekan Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Kelantan." "Kebajikan Rakyat Keutamaan Negara \u2013 Pemangku Raja Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMata Ayer \u2013 Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah rakyat hendaklah sentiasa dilindungi dan dijaga kebajikan walau dalam apa-apa jua keadaan. Kebajikan rakyat negeri Perlis adalah satu keutamaan.\nDalam memastikan keselesaan dan kebajikan rakyat negeri ini sentiasa berada pada tahap terbaik, adalah diharapkan supaya setiap perancangan program dan projek pembangunan mengambil kira manfaat yang akan diterima rakyat.\nSebagai contoh, fasiliti awam, kawasan rekreasi dan riadah harus diperbanyakkan, manakala dari aspek penyediaan infrastruktur, agensi yang berkenaan perlu memastikan penyediaan infrastruktur utama seperti jalan raya, bekalan air, elektrik dan jaringan komunikasi sentiasa berada pada tahap yang memuaskan.\nDemikianlah titah baginda selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada sebanyak 140 orang asnaf terpilih dalam satu program yang diadakan di Masjid Al-Rashid, Kubang Perun, Mata Ayer, baru-baru ini.\nSumbangan tersebut diberikan kepada 70 penerima dalam kalangan anak kariah Kubang Perun dan 70 penerima lagi dari kariah Panggas. Masing-masing menerima RM700 setiap seorang daripada Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkapf Yang DiPertua MAIPs.\nKeberangkatan baginda turut diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor." "Siddiq Fadzil: Agamawan dan Demokrat yang Menjulang Demokrasi Rakyat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMajlis Perasmian Seminar Fikrah Siddiq Fadzil telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-10, YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 30 Mei 2023.\nYang berikut merupakan inti pati ucapan Perdana Menteri Malaysia ke-10, YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim semasa majlis perasmian seminar tersebut.\nAssalamualaikum WBT, salam perpaduan dan salam Malaysia MADANI.\n1. Terlebih dahulu marilah kita merakamkan kesyukuran kepada Allah SWT atas limpah kurnia-Nya kerana kita dapat bersama-sama pada pagi yang penuh dengan keberkatan ini. Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada DBP, Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Universiti Selangor (UNISEL), serta pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam usaha pembinaan negara bangsa yang progresif dalam kerangka Malaysia MADANI.\nHadirin sekalian,\n2. Alhamdulillah, kerjasama DBP, WADAH dan UNISEL menerusi seminar ini dapat memberikan manfaat dan peluang untuk mengimbau semula, mendalami fikrah sahabat kami, pemikir dan murabbi ummah Siddiq Fadzil. Apabila mengingati tokoh silam, saya terfikir kembali kata-kata yang diungkapkan oleh Roger Garaudy, pemikir dan ahli falsafah Perancis yang menyatakan bahawa jika benar kita ikhlas dan faham tentang tokoh penting, hal ini bukan untuk sekadar menyatakan keprihatinan, malah menggali khazanah dan mewacanakan, serta menggilap idealisme yang dibawa oleh tokoh atau susuk tersebut.\n3. Selain itu, wacana seperti ini harus diperluaskan. Saya tidak bias kerana kebetulan Siddiq Fadzil itu sahabat karib, tetapi kerana pemikiran beliau itu sangat relevan dengan keperluan kita dalam usaha mengangkat masyarakat MADANI yang kuat berakar terhadap budaya Melayu, selain petah dalam bicara bahasanya, mendalami Islam dan terbuka luas mindanya. Beliau tidak terperangkap dengan pemikiran sempit atau jumud terhadap kefahaman agama dan seorang demokrat yang memahami erti demokrasi rakyat, bukan demokrasi sistem institusi sepertimana yang lazim kita faham sekarang bahawa demokrasi itu hanya bererti sekiranya berlaku kesedaran dalam kalangan rakyat. Oleh sebab itu, tokoh politik, parti politik atas nama apa-apa pun dalam mendukung fahaman mereka sama ada dengan wang atau ideologi sempit, tidak dilaksanakan dengan kefahaman yang lebih meluas.\n4. A. Samad Said dalam Berita Harian mengupas satu-satunya medium pada ketika itu yang turut memberikan ruang kepada kami mengupas dengan kritis bagi mendukung hasrat kalangan muda, membuka minda rakyat dan mengaitkan kekuatan Islam dalam konteks Melayu bagi pembinaan negara bangsa. Sepertimana yang kita mengetahui Tafsir Maudhu\u2019i, Islam dan Melayu dan beberapa kupasan serta karya tesis kedoktoran yang diterbitkan oleh beliau. Siddiq itu terlalu \u201ckeras\u201d dalam fahamannya dengan mengakar kepada tradisi rantau Melayu walaupun tidak berganjak sedikit pun tentang Islam dan perkara ini juga harus difahami oleh generasi sekarang kerana apabila kita membina Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), dia tidak mengganjur satu sikap walak dengan mendukung pemikiran satu orang atau satu kelompok tetapi tentang al-Quran dengan tafsir yang pelbagai supaya fahaman kita lebih mendalam, seperti kitab tradisional, tafsir ala tasawuf, tafsir moden, yang kuat bahasa Arabnya, kuat bahasa Inggerisnya, maka dalam usrah awal yang dipimpin oleh Sheikh Razali Nawawi dan Ustaz Fadzil Noor tentu terikat dengan tafsir, tetapi dibawa juga al-Qurthubi, Sayyid Abul A\u2019la Maududi, Sayyid Qutb untuk diberi satu perimbangan kefahaman yang lebih meluas dan mendalam. Yang penting adalah memahami agama dan tradisi ilmu yang mantap, mendalam, tidak memahami Islam melainkan hal yang sudah tetap seperti solat, puasa dan lain-lain.\n5. Kemudiannya, buku-buku dihebahkan dan sebab itulah saya ingin memanfaatkan waktu ini dengan menyatakan bahawa untuk berkecimpung dalam gerakan dan Sura mendukung sepenuhnya semangat islah dan perubahan serta mengangkat martabat negara bangsa MADANI yang mesti berteraskan ilmu dan keyakinan yang mendalam. Oleh itu, dalam memahami Islam itu sendiri, kita bawa kupasan daripada pandangan tokoh gerakan Islam, termasuklah Hasan Al-Banna kepada pemikir semasa, Abd al-Rahman al-Kawakibi dan kupasan-kupasan dalam beberapa karya Sayyid Sabiq, Muhammad al-Ghazali dan kemudian karya Yusuf al-Qaradawi. Kita juga mengambil kira pandangan tokoh di rantau ini, iaitu Muhamad lqbal, terutamanya magnum opus beliau, iaitu The Reconstruction of Religious Thought in Islam yang menggagas pembaharuan berdasarkan kefahaman mendalam dan keperluan untuk menolak taklik, walaupun bukan kesemuanya kerana tidak berakar pada sunah, al-Quran atau menganjurkan ijtihad dengan beberapa prinsip yang ketat.\n6. Selain itu, bahasa juga perlu dijadikan sebagai \u201calat\u201d perpaduan kepada masyarakat yang berbilang kaum. Hal ini disebabkan sesuatu bangsa yang berjaya perlu ada \u201cpengikat\u201d yang kukuh dan bahasa itulah merupakan tali ikatan tersebut. Yakinlah bahawa \u201cBahasa Jiwa Bangsa\u201d merupakan teras untuk rakyat terus hidup bersatu padu dan maju mengikut acuan sendiri.\n7. Di Indonesia, tentunya Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenal sebagai Hamka, dan termasuklah Tafsir Al-Azhar, satu-satunya tafsir gagah dalam korpus bahasa Melayu dan pemikir seperti Mohammad Natsir dan di Tanah Melayu terdapat pejuang kebangsaan awal, termasuklah kupasan Raja Ali Haji Raja Haji Ahmad, Tan Sri Zainal Abidin Ahmad (Pendeta Za\u2019ba) dan kemudiannya dari sudut ekonomi kemiskinan seperti Ungku Aziz. Dari segi pemikiran Melayu dan Islam, Syed Muhammad Naquib al-Attas merupakan tokoh pemikirnya. Daripada pemikir yang lebih kritis tentang doktrin matematik Melayu pada ketika itu yang membantah pemikiran usang dan revolusi mental yang menganggap sentimen Melayu itu agak ketinggalan dan perubahan pula hanya dalam kalangan rakyat. Hal ini tidak menyinggung bahawa beberapa kerosakan besar dalam negara terjadi akibat pemikiran jumud dan keterlaluan, keangkuhan kuasa, kegelojohan dan rasuah dalam kepimpinan. Maka itu, Syed Hussein Alatas dalam The Intellectual and Developing Countries mengupas dan mengasak pemikiran sedemikian, termasuklah Malay Dilemma oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, iaitu satu karya yang dianggap besar oleh sebahagian orang Melayu, tetapi tidak dapat dipertahankan dari sudut keilmuannya, dari gugusan pembaharuan kerana fikiran itu masih terperangkap dengan kerangka pemikiran penjajah. Kita sememangnya antipenjajah, tetapi secara tidak sedar, kita terbawa-bawa dengan pemikiran penjajah. Sebagai contoh, pandangan tentang mitos peribumi malas yang didukung oleh revolusi mental dan juga Malay Dilemma, iaitu mitos yang pernah disanggah sebelum itu oleh Jose Rizal.\n8. Sekiranya diteliti semula karya Siddiq tersebut, hal ini sangat bersesuaian untuk dikaji, malah relevan pada masa ini. Oleh sebab itulah dalam acara pesta buku, saya tegaskan dengan menggesa golongan cendekiawan agar mengikut jejak seperti Siddiq Fadzil, seorang cendekiawan yang tidak hanya terperangkap dalam gedung universiti, malah muncul sebagai intelektual awam. Edward Said dalam The Legacy of a Public Intellectual pernah mengungkap masalah rakyat dan cuba mengangkat tahap kefahaman masyarakat secara umum, dan dalam konteks inilah kita harus perbanyakkan karya seperti ini.\n9. Saya ada berbincang dengan saudari Fadhlina Sidek, benar apa-apa keutamaan sekarang ialah teknologi digital, yakni ilmu mengenai kecerdasan buatan (AI) dan beberapa buah kerangka pemikiran ke arah sains dan matematik yang juga lemah dalam kalangan masyarakat, terutamanya anak Melayu sekarang. Akan tetapi, kita sebagai manusia, kita bicara soal karamah insaniah, maka manusiawi itu tidak mampu dibentuk dengan hanya kerangka teknologi, sains dan digital kerana dibentuk dengan bahasa dan budaya. Walaupun ada pandangan yang serong menganggap bahawa seni, sastera dan budaya itu tidak relevan, kita tidak boleh menerima fahaman cetek sedemikian kerana apa-apa yang kita fikirkan itu mengangkat martabat bangsa, tentunya melibatkan masalah ekonomi yang masih fundamental.\n10. Kita sedang berbicara soal karamah insaniah yang tentunya terletak pada tekad dan keyakinan pada nilai, akhlak, budaya dan seni. Sebagai contoh, berlakunya pengucapan hati nurani dalam bahasa yang indah, mungkin menerusi puisi. Oleh sebab itulah apabila saya berada di lapangan bersama-sama anak muda dan pelajar universiti, saya rasa bimbang akan minat dan kecenderungan mereka tidak ke arah ini.\nSaudara,\n11. Saya ingin membicarakan karya A. Samad Said, seperti Bumi Hijau, iaitu kemiskinan yang disebut papa kedana, soal rasa lara, soal perjuangan, soal gerakan kebangsaan awalnya, soal penindasan, soal hilangnya rasa demokrasi, yakni semuanya itu diceritakan, digubah, diucapkan dengan bahasa terindah. Maka itu, jika generasi baharu kini tidak merasai \u201ckelazatannya\u201d seperti yang disebut oleh Sayyidina Ali ibn Abi Talib, iaitu lazatnya kerana keindahan bahasa dan ilmunya tentang maghrifah. Maka itu, kita akan berasa kerugian. Jelaslah bahawa wacana sebegini sangat penting kerana buku-buku yang dihasilkan, termasuklah daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu diwacanakan di sekolah dan di pusat pengajian tinggi.\n12. Pada hemat saya, semangat dan budaya ilmu harus terus kita terapkan dalam masyarakat kita. Saya dan Siddiq Fadzil sememangnya peminat pemikir Algeria, almarhum Malik bin Nabi. Beliau menulis dalam bahasa Perancis dan diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Berikutan itu, saya memohon Siddiq Fadzil untuk menterjemahkannya dan saya cuba hadam dan ulas. Dia selalu \u201csindir\u201d saya dengan mengatakan pengulas lebih baik daripada penterjemah asalnya.\n13. Beberapa kupasan dalam bahasa Inggeris, umpamanya karya awal Sayyed Hossein Nasr, pengasas badan lembaga falsafah Islam di Iran yang ditulis sejak 60-an. Kesederhanaan Islam itu berada di puncak tertinggi. Oleh itu, seperti yang diolah oleh Siddiq Fadzil itu menyatakan bahawa kita perlu membawa perubahan ini kerana keyakinan itu bukan bikinan, bukan kerana kelompok atau kaum atau politik akan tetapi, keyakinan itu adalah tentang suatu cetusan ikhlas dari hati nurani yang bersih. Pencernaan inilah yang kemudiannya akan membina kekuatan.\n14. Marilah kita terus berusaha dan berdoa agar rakyat Malaysia mampu mengeluarkan diri daripada kepompong dan belenggu kejumudan dan taasub melampau dalam pemikiran mereka. Kita mahu sikap menerima secara \u201cberlapang dada\u201d dan meraikan, serta \u201cmenikmati\u201d perbezaan sebagai fitrah yang boleh membahagiakan kehidupan kita. Sikap ini amat penting untuk rakyat Malaysia agar terus hidup dalam keadaan bersatu padu, harmoni dan aman damai dalam kerangka Malaysia MADANI ini.\nDemikianlah inti pati ucapan Perdana Menteri Malaysia ke-10, YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim semasa perasmian Seminar Fikrah Siddiq Fadzil." "Memacu Daya Tahan Digital\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPusat Serantau Asia Tenggara bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) menyambut ulang tahun ke-20 dengan mengadakan persidangan antarabangsa, iaitu SIC 2023 dengan tema \u201cBuilding Digital Resilience Preventing and Countering Violent Extremism (PCVE)\u201d. Persidangan ini diadakan pada 13 Jun hingga 15 Jun 2023 dengan pelibatan sebanyak 150 peserta dan delegasi pelbagai negara. Persidangan sepanjang dua hari setengah ini menampilkan lima orang panel perbincangan.\nDalam ucap utama Dato\u2019 Seri Zambry Abdul Kadir, Menteri Luar Negeri yang dibacakan oleh Datuk Mohamad Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri, menekankan bahawa pentingnya untuk memahami faktor penggunaan platform digital oleh kumpulan ekstremisme ganas dan mekanisme yang boleh diambil untuk memeranginya.\nAntara faktor ideologi ekstremisme ganas terus mencambah termasuklah penguasaan digital oleh kumpulan pengganas dan pelampau dalam menyebarkan propaganda mereka sehingga menimbulkan semangat berpuak-puak yang memecahbelahkan. Mereka juga boleh menyesuaikan diri dengan teknologi terkini dalam mencapai objektif mereka.\nSelain itu, anonimiti di ruang digital memungkinkan pengguna untuk membina akaun tanpa identiti mereka diketahui. Bukan itu sahaja, retorik yang digunakan oleh kumpulan tersebut juga sering kali mengeksploitasi isu-isu semasa seperti politik, ekonomi dan ketidakadilan sosial. Retorik ini digunakan untuk memecahbelahkan, menyemai ketakutan dan mempromosikan naratif \u201ckita lawan mereka\u201d.\nSeterusnya, kumpulan pengganas juga menggunakan medium yang pelbagai dalam penyebaran ideologi seperti permainan video, kuiz dalam talian, serta cabaran media sosial.\nSEARCCT berperanan untuk melaksanakan program latihan, bina upaya, penyelidikan dan kesedaran awam dalam bidang mencegah keganasan. Semenjak penubuhannya pada tahun 2003, SEARCCT telah memperoleh pelbagai pengalaman melalui penganjuran lebih daripada 320 program. Program ini telah memanfaatkan lebih 13 500 peserta tempatan dan antarabangsa daripada pelbagai sektor termasuklah kerajaan, penguatkuasaan undang-undang, akademia, media dan organisasi masyarakat sivil.\nSebagai pra-acara kepada SIC 2023, diadakan Bengkel Serantau bertajuk \u201cSharing Together for Online Resilience Among Youth\u2019 (STORY)\u201dpada 10 hingga 12 Jun 2023. Bengkel STORY ini melibatkan belia dari rantau Asia Tenggara bagi mempromosikan pelibatan belia dalam usaha pencegahan keganasan. Daya tahan digital dapat dibina melalui penggunaan platform dalam talian secara kritis serta pengamalan etika digital yang baik dalam mewujudkan aspirasi MADANI." "Tuntut Ilmu Kecapi Kejayaan Masa Hadapan \u2013 Pemangku Raja Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPulau Pinang\u00a0\u2013\u00a0Pemangku Raja Perlis,\u00a0Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr.\u00a0Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menitahkan ucapan tahniah dan syabas kepada pelajar atas keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), seperti yang diumumkan pada 8 Jun yang lalu.\n\u201cSegala usaha dan pengorbanan dalam menuntut ilmu nyata tidak sia-sia dengan kejayaan yang dikecapi. Pencapaian ini memberikan berita yang gembira dan semangat baharu kepada anak-anak. Diharap pencapaian ini juga menjadi pemangkin kepada rakan-rakan yang lain untuk terus bersaing bagi meningkatkan keupayaan diri demi mencapai kejayaan di masa hadapan.\u201d\nBaginda menyeru para ibu bapa, warga pendidik dan para pelajar semua agar terus istiqamah dalam usaha dan kecemerlangan yang telah dicapai.\n\u201cNamun begitu, janganlah kita lupa untuk sesekali melihat jiran-jiran mahupun rakan-rakan yang mungkin tertinggal dan terjejas akibat cabaran persekitaran pada hari ini. Semoga dengan bantuan yang diberikan, dapat membantu untuk sama-sama mencapai kejayaan di masa akan datang untuk rakyat Perlis secara keseluruhannya.\u201d\nTuanku Pemangku Raja\u00a0turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri, guru dan ibu bapa yang telah banyak berkorban masa, tenaga serta wang ringgit demi kejayaan anak-anak.\nTitah baginda selepas berkenan berangkat menerima sembah mengadap oleh Pengarah Global bagi World Vision International serta Penasihat Strategik untuk ARM Group Solutions, Lachemi Bouguir dari Emiriah Arab Bersatu bagi membincangkan beberapa bentuk usaha\u00a0sama dan kerjasama dengan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) di Pulau Pinang pada petang semalam.\nYang turut hadir ialah Mufti Perlis, Profesor Dato\u2019 Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor; Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Profesor. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle; dan\u00a0Pengarah Bahagian Education Malaysia, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Haji Shushilil Azam Shuib." "Lee Choong Wei: Tokoh Sukan yang Terus Membanggakan Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTokoh badminton negara, Datuk Wira Lee Chong Wei terus meletakkan Malaysia pada peta dunia apabila nama beliau dimasukkan dalam senarai Dewan Kemasyhuran atau \u201cHall of Fame\u201d oleh Persekutuan Badminton Dunia, bersama-sama seteru utamanya, Lin Dan. Pada 3 Mei 2023, beliau telah diraikan dalam satu majlis yang diadakan di Kuala Lumpur. Dewan Kemasyhuran Persekutuan Badminton Dunia yang beribu pejabat di Kuala Lumpur, Malaysia merupakan sebuah badan yang tidak berasaskan keuntungan, tetapi mempunyai matlamat untuk menjaga, meraikan dan memberikan inspirasi kepada sukan badminton di segenap pelosok dunia. Badan ini juga bertujuan untuk memberikan penghargaan kepada para pemain dan penyumbang dalam sukan badminton.\nMenjadi satu penghormatan yang tinggi kepada pemain badminton apabila namanya dimasukkan dalam senarai Dewan Kemasyhuran Persekutuan Badminton Dunia. Perkara ini boleh disifatkan sebagai kemuncak pencapaian dalam kerjaya pemain tersebut, sekali gus dianggap sebagai individu yang penting dan mengubah sejarah badminton. Nama Lee Chong Wei sudah tidak asing lagi dalam arena badminton negara mahupun dunia. Beliau pernah berada di kedudukan pertama dalam senarai pemain perseorangan lelaki dunia selama 310 minggu, iaitu bersamaan dengan enam tahun. Lee Chong Wei mencapai kedudukan sebagai pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia pada 1 Jun 2017. Namun begitu, pada 19 Jun 2015, kedudukan beliau telah jatuh ke tangga 180, iaitu selepas beliau disahkan positif kes doping dan digantung daripada menyertai apa-apa pertandingan selama lapan bulan. Walau bagaimanapun, hal itu tidak mematahkan semangat beliau dalam arena badminton. Buktinya, dalam masa lima bulan, iaitu pada 27 Oktober 2015, beliau telah berjaya berada di kedudukan ke-10 dalam senarai pemain terbaik dunia. Tidak hanya berhenti di situ, pada 8 Jun 2017, beliau telah kembali menjadi pemain nombor satu dunia sehinggalah beliau mengumumkan persaraannya pada tahun 2019.\nSepanjang 19 tahun kerjaya Lee Chong Wei sebagai pemain badminton profesional, beliau telah berjaya memperoleh kemenangan sebanyak 705 kali. Pencapaian yang luar biasa ini menyebabkan banyak artikel atau keratan akhbar yang memfokuskan tentang pencapaian beliau dalam disiplin perseorangan lelaki, tetapi tidak memberikan perhatian terhadap peranan penting beliau dalam kejohanan badminton berpasukan seperti Piala Thomas dan Piala Sudirman. Peranan yang dipikul oleh Lee Chong Wei sebagai ketua pasukan, merangkap pemain pertama perseorangan negara, sudah tentu memberikan tekanan kepada beliau untuk memberikan mata kemenangan kepada pasukan negara. Artikel pendek ini akan melihat sumbangan dan prestasi Lee Chong Wei sebagai pemain perseorangan lelaki pertama negara dalam kejohanan badminton berpasukan dari tahun 2007 hingga tahun 2018.\nRajah 1: Penglibatan Lee Chong Wei Mewakili Pasukan Kebangsaan dalam Kejohanan Badminton Berpasukan dari Tahun 2007 hingga Tahun 2018.\nRajah 1 menunjukkan penglibatan Lee Chong Wei mewakili negara dalam kejohanan badminton berpasukan dari tahun 2007 hingga tahun 2018. Beliau kebiasannya akan diturunkan sebagai pemain pilihan pertama perseorangan lelaki sama ada semasa Piala Thomas, Piala Sudirman, Kelayakan Piala Thomas & Uber atau Kejohanan Badminton Berpasukan Asia. Gelaran sebagai pemain nombor satu dunia yang dimiliki oleh Lee Chong Wei merupakan aset yang digunakan secara maksimum oleh kontinjen Malaysia dalam kejohanan seperti ini. Secara keseluruhannya, daripada 53 perlawanan yang disertai oleh Lee Chong Wei, beliau telah memenangi 50 perlawanan tersebut. Terdapat satu perlawanan yang beliau terpaksa menarik diri akibat kecederaan sewaktu menentang Peter Hoeg Gade Christensen (Denmark), iaitu semasa kejohanan Piala Thomas dan Uber tahun 2014. Beliau telah tewas dua perlawanan kepada Lin Dan (China) semasa Pertandingan separuh akhir Piala Sudirman tahun 2019 dan Piala Thomas & Uber tahun 2010. Beliau tewas (0-2) dalam kedua-dua perlawanan tersebut. Umum mengetahui bahawa pada awal tahun 2000, iaitu pada tahun 2019 dan tahun 2010, China merupakan antara kuasa utama yang dominan dalam sukan badminton dunia. Pemain pasukan kebangsaan mereka menduduki kedudukan sepuluh terbaik dunia dalam semua disiplin badminton profesional.\nRajah tersebut juga menunjukkan bahawa Lee Chong Wei telah mewakili pasukan kebangsaan dalam satu edisi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (2018); dua edisi kelayakan Zon Asia Piala Thomas dan Uber (2008, dan 2012); serta masing-masing enam edisi Piala Thomas dan Uber (2018, 2016, 2014, 2012, 2010, dan 2008); dan Piala Sudirman (2017, 2015, 2013, 2011, 2009, dan 2007). Jika dilihat statistik perlawanan yang disertai oleh Lee Chong Wei, beliau tidak pernah gagal untuk menghadiahkan mata pertama bagi pasukan negara bagi kejohanan besar seperti ini. Beliau akan menamatkan perlawanan dalam purata masa 0.37353/36 minit atau kurang daripada satu jam untuk memenangi perlawanan dengan straight set (2-0), kecuali sewaktu menentang Ajay Jayaram (India) semasa Kelayakan Piala Thomas dan Uber Edisi 2012 dan sewaktu menentang Jan O Jorgensen (Denmark) semasa Piala Thomas dan Uber tahun 2014. Perlawanan ini berlanjutan sehingga ke set ketiga (penentuan), dengan Lee Chong Wei muncul sebagai pemenang bagi kedua-dua perlawanan tersebut. Perlawanan dengan Jan O Jorgensen (Denmark) merupakan perlawanan yang paling lama pernah dimainkan oleh beliau, iaitu mengambil masa selama satu jam dua minit. Manakala, perlawanan yang paling cepat pernah dimainkan oleh Lee Chong Wei ialah semasa Kelayakan Zon Asia Piala Thomas & Uber tahun 2010 menentang Ian Mendez (Filipina), iaitu dalam masa 17 minit.\nPeranan beliau sebagai pemain pertama perseorangan negara sememangnya penting dalam menaikkan moral dan motivasi kem Malaysia. Kemenangan yang diberikan kepada kem badminton negara akan memberikan semangat kepada rakan sepasukan yang lain untuk turut mencapai kemenangan dalam perlawanan yang disertai oleh mereka. Sebagai ketua pasukan dan pemain senior dalam skuad kebangsaan, beliau perlu menunjukkan contoh yang boleh diikuti oleh rakan sepasukan yang lain. Selepas menggantung raket, beliau menjalani kehidupan sebagai seorang ayah kepada dua orang anak, iaitu Kingston, enam tahun dan Terence, empat tahun, serta suami kepada Datin Wong Mew Choo yang juga merupakan bekas pemain perseorangan utama wanita negara.\nBaru-baru ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah melantik Lee Chong Wei sebagai pengurus pasukan untuk mempersiapkan pemain negara menjelang kejohanan Olimpik di Perancis pada tahun 2024, melalui program \u201cRoad to Gold\u201d. Mungkin Lee Chong Wei bukanlah satu-satunya pemain terbaik dunia, apatah lagi sebagai pemain yang sempurna (sepertimana juga penulis artikel ini), hal ini demikian kerana beliau mungkin boleh dikategorikan sebagai pemain yang \u201ckurang bernasib baik\u201d kerana tidak pernah menaiki podium untuk mendapat Tempat Pertama dalam Kejohanan Dunia dan Pingat Emas dalam Sukan Olimpik. Dalam kejohanan utama tersebut, Lee Chong Wei sekadar mendapat Tempat Kedua pada Kejohanan Dunia (edisi 2011, 2013, dan 2015) serta mendapat Pingat Perak dalam Sukan Olimpik (edisi 2008, 2012, dan 2016). Walau bagaimanapun, Lee Chong Wei tetap menunjukkan prestasi yang konsisten dalam kejohanan berpasukan seperti ini.\nSemoga Lee Chong Wei akan terus memberikan inspirasi kepada pemain muda negara agar mengikut jejak langkah beliau dan mengispirasikan belia Malaysia yang berada di dalam mahupun di luar negara. Teruslah membanggakan Malaysia dan berusaha untuk menggapai impian walaupun perjalanan tersebut penuh ranjau dan duri." "Remaja Lari dari Rumah: Apakah Peranan Ibu Bapa?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMasalah remaja lari dari rumah bukanlah suatu hal yang baharu. Masalah ini sememangnya wujud sejak dahulu lagi. Persepsi bahawa zaman remaja merupakan suatu tempoh yang \u201crumit\u201d, bukan sahaja ada di negara kita, malah di serata dunia. Usia remaja sememangnya mencabar kerana peringkat usia ini merupakan tempoh yang dramatik dan sukar untuk dilalui.\nJika dilihat dari perspektif psikologi, masalah remaja lari dari rumah sering kali dikaitkan dengan proses kematangan otak remaja. Maka itu, tingkah laku remaja banyak dipengaruhi oleh emosi sehingga menyebabkan mereka bertindak di luar kawalan. Proses perkembangan manusia terutamanya pada peringkat remaja sangat kompleks. Tidak kira sama ada remaja lelaki atau remaja perempuan, keinginan untuk lari dari rumah sememangnya ada dalam diri setiap remaja.\nBerdasarkan statistik yang dikemukakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak, bermula pada tahun 2019 hingga 2022, kes lari dari rumah dalam kalangan remaja didapati semakin meningkat, iaitu daripada 2977 kes kepada 3589 kes. Peningkatan jumlah ini amat membimbangkan kerana masalah lari dari rumah membawa pelbagai kesan negatif seperti sumbang mahram, pelacuran, perjudian, pembuangan bayi dan masalah sosial yang lain. Masalah sosial ini memberikan impak kepada negara kerana golongan remaja merupakan golongan pemimpin pada masa hadapan. Pelibatan remaja dalam masalah sosial ini menyebabkan negara kehilangan generasi yang menjadi aset negara. Oleh itu, masalah remaja lari dari rumah seharusnya tidak dipandang ringan oleh semua pihak.\nInstitusi Kekeluargaan yang Utuh\nMenurut seorang ahli psikologi, Springer (2001), krisis institusi kekeluargaan\u00a0merupakan antara punca utama remaja lari dari rumah. Di negara Barat, remaja yang melarikan diri dari rumah dianggap sebagai satu daripada masalah yang paling serius dalam masyarakat. Sungguhpun ibu bapa di sana mengamalkan gaya keibubapaan yang mengutamakan hak dan kebebasan anak dalam membuat keputusan namun kes remaja lari dari rumah masih lagi berlaku.\nBegitu juga di Malaysia, statistik mendapati lebih daripada 170 kes remaja lari dari rumah pada tahun 2020 adalah berpunca daripada keluarga yang bermasalah. Remaja bertindak untuk lari dari rumah kerana berasa tidak gembira dan tidak selesa apabila berada di rumah. Selain itu, kebanyakan remaja ini berasa tidak bebas dan sering dikawal oleh ibu bapa. Mereka juga mula memberontak apabila ibu bapa kurang memberikan perhatian.\nRemaja pada hari ini tidak lagi sama seperti remaja dahulu yang begitu taat kepada ibu bapa. Penggunaan teknologi seperti telefon pintar juga menyebabkan remaja pada hari ini tidak segan silu untuk meluahkan perasaan marah mereka dalam media sosial, malahan disokong oleh rakan yang mengalami pengalaman yang sama. Hal ini menjadikan remaja merasakan dirinya betul dan ibu bapa tidak memahami kehendak mereka.\nRemaja yang lari dari rumah boleh dikategorikan kepada empat golongan seperti yang berikut:\nIbu Bapa: Suri Teladan dan Pemandu Kehidupan Remaja\nGolongan remaja yang melarikan diri dari rumah bukanlah bererti mereka ialah remaja yang tidak baik tetapi mereka hanya tersilap langkah dalam percaturan kehidupan. Mereka menganggap bahawa tindakan lari dari rumah dapat melenyapkan masalah yang sedang dihadapi. Oleh hal yang demikian, ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk memberikan tunjuk ajar yang baik kepada anak-anak. Ibu bapa perlu menjadi penyokong dan pendukung utama dalam kehidupan anak.\nWalau bagaimanapun, dalam hal mendisiplinkan anak terutamanya remaja, ibu bapa perlu bersikap tegas dan konsisten dan pada masa yang sama perlu berlaku adil serta munasabah. Kejadian anak lari dari rumah ialah mimpi ngeri bagi setiap ibu bapa. Dikatakan hampir semua orang yang pernah melalui zaman remaja pernah mempunyai niat untuk lari dari rumah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.\nNamun begitu, tidak semua remaja menurutkan keinginan tersebut. Sikap seseorang banyak dipengaruhi oleh hubungan sosial terutamanya rakan sebaya. Pengaruh rakan sebaya yang negatif menjadikan remaja bersikap mementingkan diri sendiri, sangat sensitif terhadap kritikan dan cenderung mempersoalkan pelbagai perkara. Mereka juga cenderung menguji had kebebasan mereka. Mereka akan melakukan apa-apa sahaja yang disukai dan melanggar perintah dan larangan ibu bapa. Hal ini disebabkan kerana pemikiran mereka yang masih berkembang menyebabkan tingkah laku dan emosi mereka menjadi tidak menentu. Oleh yang demikian, sangat penting untuk mewujudkan suasana harmoni dalam sesebuah keluarga kerana persekitaran keluarga yang tidak kondusif dan sentiasa berkonflik akan menyebabkan anak remaja membesar dengan keadaan yang tertekan dan bermasalah.\nRemaja yang lari dari rumah sering kali membangkitkan alasan dominasi ibu bapa terhadap diri mereka. Oleh itu, lari dari rumah merupakan cara yang difikirkan terbaik untuk dirinya bagi mendapatkan autonomi tanpa memikirkan risiko yang berlaku. Oleh itu, antara langkah pencegahan yang boleh diambil termasuklah mendidik anak tentang cara untuk berhadapan dan untuk menangani sesuatu masalah. Apabila ibu bapa berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan anak memiliki kaedah yang betul dan pemikiran yang jelas tentang kesan daripada setiap tindakan yang diambil, mereka tidak akan mempertimbangkan lari dari rumah sebagai satu daripada jalan penyelesaian masalah. Sudah tentu, perkara ini bermula dengan membantu mereka mempelajari kemahiran menyelesaikan masalah. Ibu bapa perlu mendengar masalah anak dan membantu mereka membaiki kesilapan mereka.\nSelain sokongan fizikal seperti pelukan mesra, komunikasi yang efisien juga dapat membantu seperti menyatakan perasaan kasih dan sayang serta memberikan kata-kata penghargaan kepada anak. Tindakan ibu bapa seperti ini dapat memberikan mesej dan menyedarkan anak tentang kasih sayang ibu bapa yang tiada sempadan. Bukan itu sahaja, ibu bapa haruslah sentiasa memberikan ruang kepada anak untuk meluahkan perasaan mereka dan tidak sentiasa mencari kesalahan mereka. Hal ini penting bagi memastikan anak dapat bersikap terbuka untuk membicarakan masalah yang dihadapi oleh mereka. Ibu bapa haruslah memberikan anak ruang untuk membuat keputusan sendiri dalam kehidupan.\nTeori Sistem Keluarga Bowen\nKepentingan keluarga yang harmoni dapat digambarkan melalui Teori Sistem Keluarga yang ditulis oleh Bowen (1972). Bowen menekankan keluarga sebagai satu unit emosi dalam hubungan kekeluargaan\u00a0kerana setiap ahli saling terikat dari segi pemikiran, perasaan dan tingkah laku. Interaksi dan keseimbangan hubungan antara ibu bapa dengan anak dapat memastikan fungsi sesebuah keluarga berjalan dengan betul. Keseimbangan sistem keluarga dapat dikekalkan apabila setiap ahli keluarga mematuhi peraturan dan menjalankan tanggungjawab masing-masing.\nDi samping itu, Teori Sistem Keluarga memberikan tumpuan kepada setiap peranan yang ada dalam sistem keluarga. Bowen menganggap kehidupan manusia merupakan satu sistem yang menggerakkan seseorang individu sehingga mereka menjadi seorang individu yang mempunyai emosi tersendiri, pemikiran, perasaan dan tingkah laku. Konsep sistem dalam keluarga dapat digunakan dengan meluas untuk menerangkan fungsi keluarga khususnya hal yang berkaitan dengan hubungan antara ibu bapa dengan anak.\nPerkara ini menjelaskan interaksi kompleks yang berlaku dalam keluarga dan juga faktor yang mempengaruhi proses keluarga membuat keputusan dan menetapkan pencapaian matlamat tertentu (Morris, 2013). Teori Sistem Keluarga juga mencadangkan bahawa setiap ahli keluarga saling memainkan peranan dan mempunyai kaitan antara satu dengan lain. Hal ini bermakna bahawa setiap unit memberikan kesan kepada semua unit lain dalam sistem tersebut. Teori Sistem Keluarga\u00a0menganggap bahawa keluarga ialah sistem yang berinteraksi dengan sistem lain dan mempunyai subsistem dalam diri mereka. Perubahan yang berlaku dalam setiap subsistem dapat menjejaskan kestabilan sistem keluarga.\nPendidikan Awal\nMaka itu, dalam proses mendidik dan membentuk anak terutamanya pada usia kanak-kanak hinggalah ke peringkat remaja amat sinonim dengan perumpamaan \u201cmelentur buluh biarlah daripada rebungnya\u201d. Perumpamaan ini bermaksud bahawa anak perlu dididik sejak kecil supaya bijak mengawal tingkah laku. Anak yang tidak membesar dengan persekitaran keluarga yang sihat berisiko menjerumuskan mereka ke dalam pelbagai masalah sosial, lebih-lebih lagi dengan sifat remaja yang mudah terpengaruh dengan persekitaran.\nTuntasnya, tidak mudah melewati usia remaja yang mencabar. Tingkah laku remaja ialah sebuah proses semula jadi yang perlu dilalui untuk menjadi dewasa. Dengan perkembangan teknologi tanpa sempadan, remaja pada hari ini lebih mudah terdedah dengan bahaya dan risiko. Ibu bapa perlu memberikan perhatian yang lebih seperti memantau pergaulan dan pergerakan anak. Ibu bapa perlu lebih melibatkan diri dalam aktiviti anak dan mewujudkan persekitaran rumah yang harmoni dan tenang." "Kata Pinjaman daripada Bahasa Cina\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nManusia merupakan makhluk sosial yang hidup bermasyarakat. Oleh sebab itu, manusia perlu berkomunikasi dan berinteraksi dengan manusia lain untuk memenuhi keperluan hidup dan menjamin kemandiriannya. Apabila pergaulan manusia yang melibatkan ahli daripada dua komuniti bahasa berlaku, mekanisme pinjam-meminjam dan pengaruh-mempengaruhi dari segi bahasa akan berlaku. Sebagai contohnya, bahasa Inggeris banyak menerima kata pinjaman daripada pelbagai bahasa di dunia untuk melengkapkan kosa kata dan meningkatkan kewibawaannya.\nBagi bahasa Melayu, pertembungan bahasa berlaku antara masyarakat Melayu dengan pihak penjajah dan penduduk yang berasal dari negara lain sejak dahulu lagi. Hal ini meliputi bahasa Inggeris, bahasa Portugis, bahasa Belanda, bahasa Arab, bahasa Sanskrit, bahasa Cina, bahasa Tamil dan bahasa Jawa.\nDari segi kata pinjaman daripada bahasa Cina, kebanyakan kata tersebut merupakan kata nama yang berbentuk tunggal. Kata pinjman tersebut mungkin mengalami sedikit banyak perubahan dari segi bentuk, bunyi dan makna selepas dipinjam masuk ke bahasa Melayu.\u00a0 Dialek utama bahasa Cina yang menjadi bahasa sumber pinjaman ialah dialek Hokkien. Hal ini berlaku mungkin kerana suku kaum Hokkien banyak terlibat dalam perniagaan, dan interaksi mereka dengan masyarakat Melayu yang sudah lama berlaku.\nKata nama pinjaman daripada bahasa Cina mencakupi pelbagai ranah kehidupan. Sila lihat contoh yang berikut:\n Makanan dan Minuman\nAlat atau Bahan\nPenyakit\nSeni Pertahanan Diri\nKain dan Pakaian\nPerjudian\nPekerjaan/Orang\nLain-lain\nSesetengah kata pinjaman bahasa Cina hanya digunakan dalam bahasa basahan atau bahasa percakapan (bp). Sila lihat contoh yang berikut:\nSesetengah kata pinjaman bahasa Cina mempunyai lebih daripada satu bentuk kewujudan dalam bahasa Melayu. Sila lihat contoh yang berikut:\nWalaupun kebanyakan kata pinjaman bahasa Cina merupakan kata nama, ada juga beberapa contoh kata adjektif dan kata kerja pinjaman. Sila lihat contoh yang berikut:\nKata Adjektif\nKata Kerja\nSelain berbentuk kata tunggal, ada sebilangan kecil kata pinjaman bahasa Cina yang berimbuhan, berganda atau bersempang. Sila lihat contoh yang berikut:\nBerimbuhan\nBerimbuhan dan Berganda\ntersoja-soja (tertunduk-tunduk)\nBentuk Bersempang\nmakao-po\nbo-lui\nAda kata majmuk pinjaman bahasa Cina yang ditulis sebagai kata tunggal dalam bahasa Melayu.\u00a0 Contohnya ialah kuetiau, taici dan laici.\u00a0 Ada kata majmuk yang hanya digunakan dalam bahasa percakapan. Contohnya ialah teh o beng yang bererti \u201ctek kosong berais\u201d. Ada bentuk ganda bahasa Cina yang tidak bersempang dalam bahasa Melayu. Contohnya ialah kata paupau. Ada kata pinjaman bahasa Cina yang ditulis atau sepatutnya ditulis dalam huruf besar, iaitu Topekong (nama dewa), Renminbi (nama mata wang), Tionghua (bahasa atau bangsa Cina), Tiongkok (China), dan Cap Goh Mei (pesta).\nSatu hal yang menarik ialah huruf \u201co\u201d digunakan dalam kata pinjaman bahasa Cina. Hal ini menghasilkan vokal berganding yang baharu atau rumus keselarasan vokal yang baharu. Sila lihat contoh yang berikut:\nVokal Berganding dengan Huruf \u201cO\u201d\nRumus Keselarasan Vokal dengan Huruf \u201cO\u201d\npanglong ( rumus a \u2013 o)\nAda sesetengah kata pinjaman bahasa Cina mempunyai homonim bahasa Cina, dan ada yang mempunyai homonim bahasa Melayu. Sila lihat contoh yang berikut:\nHomonim Kata Pinjaman Bahasa Cina\npi \u2013 taruhan dalam permainan judi\npi \u2013 sejenis kura-kura yang kecil di sungai, bulus\nHomonim Kata Pinjman Bahasa Cina dengan Kata Bahasa Melayu\nciu \u2013 arak (bahasa Cina)\nciu \u2013 sejenis tikar tebal (bahasa Melayu)" "Pertandingan Melukis dan Mewarna Suntik Semangat Cinta akan Bahasa Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRanau \u2013 Pertandingan Melukis dan Mewarna bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan 2022 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Ranau pada 5 dan 6 Oktober 2022 di SMK Mat Salleh Ranau.\nAntara objektif pertandingan ini termasuklah untuk memupuk perasaan bangga akan bahasa kebangsaan yang digunakan oleh semua etnik berbilang kaum terutamanya di negeri Sabah dan menyuntik semangat cinta akan bahasa kebangsaan melalui pelaksanaan pertandingan dalam sektor pendidikan.\n\u201cCintai Bahasa Kebangsaan Kita: Berbeza Budaya, Satu Bahasa, Tunjang Perpaduan\u201d merupakan tema pertandingan yang telah menerima 48 penyertaan daripada sembilan buah sekolah di sekitar Ranau dan Kundasang. Antara sekolah yang terlibat ialah SMK Matupang Jaya, SMK Mat Salleh, SMA Al-Irsyadiah, SMK Bundu Tuhan, SMK Ranau, SMK Ulu Sugut, SMK Agama Mohamad Ali, SMK Kemburongoh dan SMK Kundasang.\nHadiah telah disampaikan oleh Yang Berhormat Datuk Amisah Yassin, Ahli Dewan Undangan Negeri (Dilantik) kepada pemenang pada 7 Oktober 2022 dalam Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Festival Seni dan Alam (FESA) di Pentas Budaya, Pekan Kundasang.\nJohan pertandingan ini telah disandang oleh pelajar dari SMK Mat Salleh, iaitu Cae Vivian Amirin yang telah membawa pulang hadiah wang bernilai RM1000.00. Naib Johan pertandingan pula dimenangi oleh Nur Aina Nabila A. Rostam dari SMA Al-Irsyadiah dengan hadiah wang bernilai RM700.00, manakala RM400.00 dimenangi oleh Dexcy Lia Suali dari SMK Mat Salleh, Ranau sebagai pemenang tempat ketiga.\nHadiah sagu hati pula dimenangi oleh Nuradibah Buluan dari SMK Ulu Sugut, Eldaa Lea Madiun dari SMK Matupang dan Tesya Kimdolly Toiming dari SMK Bundu Tuhan, yang masing-masing membawa pulang wang bernilai RM100.00. Setiap pemenang dan peserta juga diberikan sijil penyertaan." "Pemangku Raja Perlis Menerima Sembah Taklimat NCER Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPulau Pinang \u2013 Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menerima Sesi Sembah Taklimat berkaitan dengan perkembangan, kemajuan dan hala tuju projek strategik Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Perlis pada petang semalam.\nBerangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.\nKeberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh pengurusan tertinggi NCIA yang terdiri daripada Ketua Eksekutif, Mohamad Haris Kader Sultan; Ketua Pegawai Operasi, Hasri A. Hasan; dan Pengarah Perkhidmatan Korporat, Zuhairi Mohmed.\nTurut hadir ke program yang diadakan di Ibu Pejabat NCIA di Penang Science Park, Simpang Ampat, Pulau Pinang tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Perlis, Puteh Soraya A Rahman.\nPembangunan bersepadu di Chuping akan menjadi kunci untuk memacu pertumbuhan sosioekonomi negeri Perlis. Untuk merealisasikan impak pembangunan ini, penyelarasan dan fasilitasi oleh Kerajaan Negeri adalah penting dalam memastikan projek berimpak tinggi NCER siap dengan lancar.\nPada masa yang sama, bagi memastikan semua sasaran utama Pelan Pembangunan Strategik NCER 2021-2025 tercapai, Kerajaan Negeri dan NCIA akan bekerjasama rapat untuk memastikan pelaksanaan yang lancar." "Membudayakan Amalan Membaca dan Merujuk Kamus\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBeluran \u2013 Ceramah Bersahabat dengan Kamus (BdK) Siri 3 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah telah berjaya dilaksanakan di SK Perancangan, Beluran\u00a0 dengan kerjasama Persatuan Dumpas Sabah (PDS), semalam.\nSiri ceramah BdK ini telah disertai oleh 145 orang murid termasuk murid prasekolah serta 6 orang guru. Turut hadir menjayakan program tersebut termasuklah Timbalan Presiden PDS, Encik Bidin Angau, Yang Dipertua PIBG SK Perancangan, Encik Rudy Eddy dan ahli jawatankuasa tertinggi PDS.\nWakil pihak sekolah, Guru Penolong Kanan Satu, Encik Nasrah Hj. Titing dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran pihak DBP dan PDS serta mengucapkan terima kasih kepada PDS terutamanya Presiden PDS, Encik Abdul Wahab Ghani\u00a0 atas sumbangan buku terbitan DBP untuk murid-murid SK Perancangan, Beluran. Selain itu, beliau juga berharap agar pihak DBP dapat menganjurkan lebih banyak program yang seumpama ini.\nJadikan aktiviti membaca sebagai hobi untuk menambah ilmu pengetahuan.\nDemikian ucapan Timbalan Presiden PDS, Encik Bidin Angau, selaras dengan program sekolah, iaitu \u201cSatu Murid, Satu Buah Buku\u201d. Beliau berharap agar melalui pembacaan buku terbitan DBP, murid dapat meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan yang betul dan berkualiti.\nDalam ceramah yang disampaikan oleh pegawai dari DBP Cawangan Sabah, Puan Julianah Kuli, beliau menggalakkan para guru dan murid menjadikan budaya membaca sebagai satu amalan di sekolah mahupun di rumah. Beliau menggalakkan agar murid-murid menjadikan kamus sebagai rujukan utama untuk mengetahui makna sesuatu perkataan semasa membaca. Beliau juga memberikan galakan kepada murid untuk bertutur menggunakan bahasa ibunda masing-masing agar sesuatu bahasa minoriti itu tidak pupus." "KPM Sentiasa Buka Peluang kepada Golongan Tercicir SPM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBanting \u2013 Pelbagai intervensi dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membantu golongan yang tercicir pada peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuklah dengan mengadakan sistem pengesanan untuk golongan itu dalam tempoh dua tahun.\nMenurut Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, dalam tempoh tersebut banyak intervensi boleh dilakukan bagi membantu golongan berkenaan dan bukan setakat menduduki SPM semata-mata.\n\u201cKita ada sistem pengesanan buat golongan ini untuk dua tahun dalam radar dan sekurang-kurangnya kita boleh membuat intervensi yang pelbagai, contohnya memberikan peluang kepada mereka yang berhasrat untuk menyambung pelajaran ke tingkatan enam, selain memberikan bantuan tertentu kepada mereka,\u201d jelas beliau.\nBeliau berkata demikian selepas menghadiri Karnival Perpaduan MADANI 2023 Sempena Top 10 World\u2019s Best School Prizes di Sekolah Kebangsaan Kanchong Darat, Banting pada hari ini.\n\u201cProgram Pusat dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga akan dibuka dengan seluas-luasnya kepada mereka yang berminat dan pastinya kita akan bekerjasama dengan pelbagai yayasan negeri untuk memberikan bantuan,\u201d ujar beliau lagi.\nPada masa yang sama, YB Fadhlina Sidek menyatakan bahawa kementeriannya sentiasa membuka peluang kepada mana-mana pelajar yang mahu menduduki atau mengulangi semula peperiksaan SPM.\n\u201cKita (KPM) sentiasa bagi peluang dan menyambut baik saranan oleh Perdana Menteri, Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim yang ada menyatakan soal peluang kedua, hala tuju, bimbingan dan kaunseling yang akan dibantu oleh KPM. Jika mereka (golongan tercicir SPM) memerlukan apa-apa sokongan lain, iaitu mungkin dari segi kewangan dengan merujuk kes tertentu, kita juga akan terus\u00a0 membantu mereka,\u201c jelas beliau." "PULAPES Tingkatkan Kecemerlangan Anggota Penguat Kuasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nMenjelang beberapa hari lagi, Pusat Latihan Penguat Kuasa Selangor (PULAPES) yang terletak di Jugra, Banting, Selangor akan mengadakan Majlis Penutupan Kursus Asas Penguat Kuasa Selangor Sesi 1/2023 pada 23 Jun 2023.\nMenurut Komandan Pusat Latihan Penguat Kuasa Selangor (PULAPES), Tuan Muhamad Osman, terdapat pelbagai perancangan yang strategik untuk memantapkan tadbir urus berkaitan dengan anggota dan pegawai di bawah bidang penguatkuasaan, khususnya di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini. Menerusi Pengurusan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), PULAPES ditubuhkan pada tahun 2003.\nDengan komitmen Selangor dalam usaha merealisasikan tadbir urus yang sistematik, maka ditubuhkan pusat ini atas kolaborasi idea dan strategi pucuk kepimpinan negeri dan PULAPES berjaya ditubuhkan pada Jun 2003, yang pada ketika itu pentadbirannya diterajui oleh YAB Dato\u2019 Sri Dr. Mohamad Khir Toyo, Menteri Besar Selangor (2000 \u2013 2008). PULAPES dibina di tanah seluas 30 ekar berdekatan dengan Bukit Jugra, Banting, Selangor.\nKompleks PULAPES terdiri daripada sembilan buah chalet, dua dewan kuliah yang boleh memuatkan peserta sebanyak 60 orang dalam satu-satu sesi, yakni memiliki bangunan pentadbiran, bilik pusat sumber, bilik kuliah, moot court (kelas prosiding mahkamah), dataran padang kawad dan dewan utama. Setiap kursus yang dianjurkan oleh PULAPES berupaya menampung sebanyak 80 orang peserta, termasuklah tenaga pengajar. Sebanyak 12 PBT di Negeri Selangor, iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Majlis Perbandaran Kuala Langat, Majlis Perbandaran Kuala Selangor dan Majlis Daerah Sabak Bernam, anggota-anggota bermula dari gred KP19 \u2013 KP41 menjalani kursus serta latihan mereka menerusi pusat kecemerlangan ini.\nPada dasarnya, objektif modul yang digubal oleh jawatankuasa yang dibentuk oleh SUK Selangor tertumpu kepada anggota, yakni berupaya melahirkan anggotanya yang berilmu dan sentiasa bersedia melaksanakan tanggungjawab serta amanah yang diberikan bagi mewujudkan keharmonian komuniti, khususnya pada peringkat demografi yang pesat dan canggih, seperti di kawasan bertaraf bandar raya.\nKepesatan ekonomi dalam sesebuah bandar raya mendedahkan anggota dengan pelbagai cabaran bagi menangani pelbagai isu yang wujud bagi memastikan kelancaran tadbir urus yang menyeluruh. Anggota penguat kuasa merupakan petugas barisan hadapan yang amat signifikan dengan efisiennya serta sistematik sesebuah pentadbiran PBT, khususnya dalam menyokong kecemerlangan Kumpulan Pengurusan atau Profesional bidang tadbir urus ini.\nKecemerlangan PULAPES dalam memberikan kursus dan latihan telah menarik perhatian jabatan serta agensi berkaitan untuk mengadakan jalinan kerjasama. Antara jabatan dan agensi yang turut bekerjasama dengan PULAPES, termasuklah Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Unit Bencana Negeri, Pejabat Keselamatan SUK, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Agama Islam Selangor, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rejimen 502 Askar Wataniah untuk program Angkatan Perajurit Muda Sukarela (APMS Wataniah) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Selain itu, PULAPES turut menjadi pilihan jabatan atau agensi, seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang pernah melaksanakan program mereka di sini dengan memanfaatkan kemudahan dan fasiliti yang ada di pusat ini.\nPULAPES turut mengadakan kerjasama dengan PBT dari seluruh negara dalam menjalankan latihan dan kursus kepada penguat kuasa. Antaranya, termasuklah Perbadanan Putrajaya, Majlis Bandaraya Seremban, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Perbandaran Nilai, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Kuantan, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Majlis Bandaraya Ipoh dan Majlis Perbandaran Alor Gajah Melaka. Anggota yang mengikuti kursus di sini akan mengikuti modul yang disediakan seperti Kursus Asas Penguat Kuasa yang merupakan kursus utama dan perlu menjalani kursus selama tiga bulan bagi pengesahan jawatan.\nDi samping itu, kursus berbentuk lanjutan (advance) seperti Kursus Asas Kawad, Kursus Tempur Tanpa Senjata (TTS), Pengukuhan Perintah Am, Kursus Penataran, Kursus Jurulatih Kawad, Kursus Kawad Tongkat Pegawai, Modul Undang-undang Kecil, Kursus Tempur T-Baton, Kursus Pengendalian Senjata Api, Kursus Penyediaan Kertas Siasatan, Pemantapan Pendakwaan dan Prosiding Mahkamah serta juga Kursus Pengendalian Komunikasi Korporat, Pengurusan Tekanan dan Kursus Green Card CIDB.\nKursus komunikasi antara yang mendapat perhatian anggota yang menyertai kursus di sini kerana anggota akan diperkukuhkan dengan pemahaman serta membiasakan diri dengan bahasa arahan. Bahasa arahan dalam bidang penguatkuasaan amat penting dalam menyampaikan satu-satu maklumat berkaitan dengan pematuhan peraturan mahupun undang-undang kepada pihak umum mahupun pelanggan. Hal ini dikatakan demikian kerana anggota akan melaksanakan tugas mereka dengan memberikan penerangan dan penjelasan berkaitan dengan satu-satu undang-undang PBT kepada pelanggan.\nSekiranya ada pelanggan yang ingkar atau melanggar peraturan, anggota mempunyai kuasa untuk tegas, namun perlu menjaga adab dan bahasa serta menggunakan tutur kata yang baik. Seseorang anggota penguat kuasa perlu mengelakkan diri daripada emosi dalam melaksanakan tanggungjawab mereka atau semasa menjalankan tugas mereka. Oleh itu, seseorang anggota yang mengikuti kursus di PULAPES, pengukuhan elemen komunikasi ini amat penting dalam mereka menguasai modul lain yang dijalani di pusat ini.\nHarapan Tuan Muhamad, berharap akan ada usaha yang lebih terancang bagi memastikan anggota penguat kuasa mendapat latihan serta kursus yang setaraf dengan diploma, kerana menurutnya menerusi latihan dan kursus yang sistematik akan dapat melahirkan anggota yang berilmu pengetahuan serta berwibawa dalam bidang ini. Pada masa yang sama, hala tuju kerjaya penguat kuasa juga mempunyai masa depan yang cerah sebagai kumpulan pentadbiran barisan hadapan bagi satu-satu PBT dan juga negeri.\nMenurut beliau, kecanggihan serta cabaran masa ini masyarakat yang dihadapi oleh anggota penguat kuasa, perlu dipertingkatkan lagi pelbagai kursus kemahiran serta pengurusan psikologi dalam kalangan anggota. Kelak, hal tadbir urus berkaitan dengan penguatkuasaan tidak kira jabatan, agensi mahupun sektor akan dapat diperkasakan lagi dan usaha kita mewujudkan negara MADANI akan dapat direalisasikan. Anggota penguat kuasa sentiasa dalam siap siaga dan memastikan keharmonian komuniti terjamin di samping badan keselamatan yang lain.\nTuan Muhamad yang merupakan anak kelahiran Pahang Darul Makmur ini, telah memulakan kerjayanya dalam bidang tadbir urus kerajaan sejak tahun 1985 bermula di Unit Perumahan, Pejabat SUK Pahang, kemudian pada tahun 1988, beliau meneruskan khidmatnya di Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), pada tahun 1989 beliau bertugas pula dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang. Bermula tahun 1991 \u2013 2005, beliau menyertai Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan semasa di sini beliau telah menyambung pengajiannya dalam bidang keselamatan pekerjaan yang ketika itu berpusat di Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama National Institute of Occupational Safety and Health (NIOSH). Selain itu, beliau juga mengikuti kursus profesional dalam bidang logistik dan pengangkutan menerusi Chartered Institute of Transport atau kini disebut The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILTM).\nTidak terhenti setakat itu, beliau melanjutkan pengajian peringkat sarjana di Universiti Selangor dalam bidang pentadbiran kerajaan tempatan dan pengurusan logistik. Pada tahun 2006, beliau telah menyertai dan menabur khidmat bakti kepada Kerajaan Negeri Selangor menerusi Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sebagai Pegawai Tadbir di Institut Latihan Pihak Berkuasa Tempatan (ILPBT), Morib dan diberi tanggungjawab lebih besar menggalas jawatan sebagai Komandan di PULAPES pada tahun 2015 hingga sekarang. Usaha beliau dalam meningkatkan taraf pengajian serta profesional dalam bidang keselamatan pekerjaan, mengaspirasikan beliau agar satu hari PULAPES akan muncul sebagai institusi profesional bagi anggota penguat kuasa di seluruh negara.\nMengakhiri wawancara, beliau mengucapkan syabas kepada semua anggota penguat kuasa yang telah bersungguh-sungguh untuk menimba ilmu di PULAPES dan terus kekal cemerlang dalam melaksanakan amanah. Peluang mengikuti latihan-latihan seterusnya yang akan disediakan oleh PULAPES hendaklah dimanfaatkan oleh seluruh anggota penguat kuasa. Kepada anggota penguat kuasa yang baharu, terus bersedia menimba ilmu dan selamat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi sebagaimana moto PULAPES \u201cBerilmu, Berintegriti dan Berani\u201d." "Pelanjutan Pendaftaran Peperiksaan SPM Tahun 2023 bagi Calon Persendirian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa pendaftaran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 bagi calon persendirian telah tamat pada 16 Jun 2023 seperti dinyatakan dalam surat makluman Pelanjutan Tarikh Pendaftaran Peperiksaan Awam Tahun 2023: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) bertarikh 2 Jun 2023.\nWalau bagaimanapun, selaras dengan teras keempat Nadi Keunggulan KPM yang memberikan perhatian terhadap isu keciciran pendidikan dan hasrat murni Perdana Menteri, YAb Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim agar peluang kedua diberikan kepada hampir 30 000 calon SPM Tahun 2022 yang tidak hadir untuk menduduki peperiksaan SPM, KPM membuat keputusan untuk melanjutkan tarikh pendaftaran peperiksaan SPM Tahun 2023 bagi calon persendirian sehingga 30 Jun 2023 (Jumaat) pada pukul 6.00 petang.\nPendaftaran peperiksaan SPM Tahun 2023 ini dilaksanakan secara dalam talian melalui aplikasi Sistem Pengurusan Peperiksaan Atas Talian (SPPAT) di pautan sppat.moe.gov.my. Calon perlu mematuhi syarat-syarat pendaftaran yang telah ditetapkan serta perlu membuat bayaran asas dan bayaran mata pelajaran yang hendak didaftarkan.\nSementara itu, permohonan pendaftaran peperiksaan bagi calon lepasan SPM Tahun 2022 adalah dikecualikan daripada fi bayaran lewat daftar. Manakala pendaftaran peperiksaan bagi calon persendirian selain calon lepasan SPM Tahun 2022 masih tertakluk pada syarat-syarat pendaftaran sedia ada. Maklumat lanjut berkaitan pendaftaran peperiksaan SPM Tahun 2023 bagi calon persendirian boleh diperoleh daripada laman sesawang LP di pautan lp.moe.gov.my." "Pemangku Raja Perlis Berkenan Meraikan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Lailatul Shahreen\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Kali Ke-10 Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Lailatul Shahreen yang berlangsung di Dewan Syed Sirajuddin Areeb Putra.\nTitah baginda, semua pihak berperanan dalam membimbing dan memberikan teladan terbaik kepada anak-anak demi melahirkan generasi masa hadapan yang bermanfaat serta berdaya saing seiring dengan keperluan industri.\nSemoga generasi masa ini dapat menepati ciri-ciri modal insan bermentaliti kelas pertama dalam segala tindakan yang mempunyai kualiti diri yang tinggi dalam semua aspek dan menjadi harapan negara.\nLebih daripada 70 orang pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan diraikan dan anugerah khas kategori guru juga diberikan kepada sebanyak 11 orang guru berdasarkan peningkatan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) dalam pelbagai mata pelajaran.\nDalam perkembangan yang sama, Tuanku Pemangku Raja turut berkenan menyampaikan Anugerah Yayasan Tuanku Syed Putra kepada pelajar cemerlang, antaranya termasuklah Aina Shaza Hashini (2019), Nur Anis Najihah Aziz (2020), Muhammad Danial Zainudin (2021) dan Imanina Einani Ibrahim (2022).\nKeberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis Sektor Pengurusan Sekolah, Hamidi Md Saad dan Pengetua sekolah, Noorihal Muhammad." "Guru Pemangkin Pemerkasaan Bahasa Melayu di SJKC dan SJKT\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSentul \u2013\u00a0Kemenjadian murid dalam penguasaan bahasa kebangsaan yang baik merupakan keutamaan bagi warga pendidik,\u00a0seiring dengan hasrat Kerajaan Perpaduan, yakni \u201cGuru Insani Pemangkin Generasi Madani\u201d.\nFaktor pemersatuan bahasa adalah kekuatan dalam pembinaan negara bangsa yang memastikan kita berada dalam peluang, platform dan ruang yang sama.\nTiada bangsa dan tiada tamadun yang mampu berdiri teguh tanpa kekuatan bahasa. Program pemerkasaan bahasa perlu diteruskan supaya elemen dimensi bahasa Melayu itu dapat dijadikan sebagai wahana perpaduan dalam masyarakat majmuk.\nDemikianlah antara ucapan Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, ketika merasmikan Program Pemerkasaan Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor di Pusat Konvensyen HGH pada petang ini.\nMenurut beliau, pembangunan set minda yang mampan adalah penting bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas sebagai pendidik dengan profesional dan berkesan.\nPembangunan set minda yang kreatif mampu mendorong dan memotivasikan guru untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi menyampaikan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bahasa Melayu dengan lebih berkesan.\nSementara itu, beliau berkongsi bahawa tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid di SJKC dan SJKT semakin meningkat apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini menunjukkan prestasi cukup cemerlang dalam penguasaan bahasa Melayu.\nMengulas lanjut, program anjuran Majlis Bahasa Cina\u00a0ini merupakan hubungan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) dan Jabatan Pendidikan Selangor (JPNS).\nProgram ini turut mendapat sokongan padu daripada rakan strategik yang terdiri daripada Bahgian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Tamil Foundation Malaysia.\nMenurut\u00a0Pengerusi Majlis Bahasa Cina Malaysia (MCLC), Datuk Eddie Heng, program ini melibatkan sebanyak 200 orang guru daripada 57 buah sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan 40 buah sekolah di dua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Selangor (PPD Petaling Utama dan PPD Petaling Perdana).\nDalam ucapannya, MCLC bersama-sama rakan sinergi giat mempromosikan pelbagai aktiviti dan pelajaran berlandaskan bahasa Melayu, seperti bengkel dan sesi libat urus di peringkat daerah dan negeri, serta pembangunan kapasiti guru bahasa Melayu di sekolah, khususnya SJKC dan SJKT.\nMengakhiri ucapan, dengan bengkel dan sesi libat urus yang diadakan selama dua hari ini, YB Fadhlina Sidek yakin bahawa program ini dapat memberikan suntikan semangat kepada para guru untuk mempertingkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, khususnya mata pelajaran bahasa Melayu di sekolah.\nFoto: Khai DBP." "Pelajar Sertai Program Akreditasi Renang dan Keselamatan di dalam Air\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani\u00a0\u2013 Sebanyak 352 orang, pelajar sekolah rendah dan menengah di Kedah menyertai Program Akreditasi Renang dan Keselamatan di dalam Air berlangsung di Kelab Sungai Petani, Kedah semalam anjuran Kelab Aquatik Sungai Petani dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri Kedah dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah.\nTimbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli Abd. Halim ketika merasmikan program itu berkata, ilmu berkaitan renang perlu dipelajari.\nTerdapat pelbagai risiko mungkin berlaku, termasuklah lemas, namun ilmu renang itu boleh dilengkapi dengan menyertai program dan pertandingan hingga ke peringkat antarabangsa.\nKatanya, langkah diambil kelab melalui jurulatihnya, M. Karunamurthy bagi memberikan bimbingan dan tunjuk ajar mengenai teknik renang kepada pelajar sekolah, begitu baik dan wajar diperluaskan.\nPresiden Kelab Akuatik Sungai Petani, YBrs Dr. Sritharan Rao berkata, Karunamurthy memiliki ijazah dalam Pendidikan Jasmani Kesihatan dan Lesen Kejurulatihan Kebangsaan Kelas B dari Institut Sukan Negara serta Diploma dalam Pengurusan Sukan dari Majlis Olimpik Malaysia.\n\u201cDia juga sedang merangka program pembangunan renang berkonsep Athlete Development Support Pathway untuk perenang dari pelbagai peringkat umur dan diharap semua 352 pelajar itu juga memperoleh kejayaan terbaik nanti.\u201c\nKatanya, terdapat pelbagai kejayaan bakal diperoleh apabila kelab mempunyai pool of swimmers hingga boleh menceriakan Persatuan Renang Amatur Kedah dan Majlis Sukan Negeri Kedah untuk membuat \u201cTalent ID\u201d.\nSritharan berkata, peserta program nanti layak ambil bahagian kejohanan renang anjuran MSSK, MSSM, SUKIPT dan SUKMA.\n\u201cBagaimanapun, kelab bercadang untuk menjalankan Kelas Renang Kasih Sayang percuma bagi golongan B40 dan anak-anak dari rumah yatim piatu di sekitar Kuala Muda. Kita mulakan dengan pengambilan 30 pelajar dengan 15 sesi kelas. Bila tamat diberikan sijil akreditasi\u201c\nTurut hadir bersama-sama dalam program ini ialah Ahli Parlimen Sungai Petani,\u00a0YB Dr. Mohammed Taufik Johari, Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara Dr. Zainah Shariff,\u00a0Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Muda, Ishak Zulkifli, Pengarah Majlis Sukan Negeri Kedah Zulzuraidy Othman, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah, Mohammad Suhaimi Md Saad, Penolong Pengarah Pembangunan Murid JPN Kedah, Muhammad Yazir Md. Rodzi, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuala Muda, Kamarol Azlan Abdull Hamid, Pengerusi Kelab Sungai Petani, Jagjit Singh Bains dan Timbalan President Persatuan Renang Amatur Kedah, Lim Kean Aun." "Dewan Siswa: 35 Tahun Menjadi Bahan Rujukan Majalah Dalam Kelas\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Majalah Dewan Siswa yang menjadi bahan rujukan dalam program Majalah Dalam Kelas (MDK) sejak tahun 1988 telah menjadi bahan rujukan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas yang memaparkan pelbagai cakupan ilmu dan isu semasa, sama ada dalam bidang kreatif atau bukan kreatif.\nOleh itu, bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-67, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Majalah telah mengadakan program Majalah Dalam Kelas (MDK) Dewan Siswa bertempat di Balai Seminar Tun Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP pada pagi tadi.\nPenyertaan yang melibatkan sebanyak 214 orang murid dan 25 orang guru pembimbing dari 15 buah sekolah di sekitar Kuala Lumpur tersebut telah mendapat kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWKL) dan merupakan jumlah pelibatan berskala besar yang pernah dianjurkan oleh pihak DBP.\nMenurut Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa, majalah terbitan DBP berupaya meningkatkan kecekapan berbahasa dan ketepatan berkomunikasi dalam kalangan murid. Melalui pembacaan dan penganjuran program MDK, para guru dapat mendidik murid agar menjadikan bahasa Melayu sebagai saluran pengungkapan buah fikiran dan ilmu pengetahuan yang berkesan, betul dan indah.\nTambah beliau,\nUsaha penganjuran program MDK dapat mengasah bakat dan potensi diri murid dalam bidang penulisan kreatif dan diskriptif.\nMengulas dengan lebih lanjut, Puan Fauzilahyatun Mustafa turut mengharapkan agar program MDK dan pemasyarakatan majalah dalam kalangan warga sekolah terutamanya murid, berupaya melahirkan bakat baharu yang dapat menyumbang terhadap aktiviti pengkaryaan.\n\u201cKita turut mengharapkan agar pada suatu hari nanti akan lahir tokoh penulis prolifik tanah air yang akan mewarnai dunia pengkaryaan dan membangunkan ketamadunan bangsa,\u201d ujar beliau.\nPada sesi MDK yang diadakan pada pagi ini, murid dan guru turut berpeluang untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan dengan peluang berkarya bersama-sama majalah Dewan Siswa seperti ruangan \u201cPuisi Siswa, \u201cCerpen Siswa\u201d dan \u201cMinda Remaja.\u201d\nMenurut Editor Dewan Siswa, pelibatan dalam kalangan murid untuk berkarya bersama-sama Dewan Siswa amat digalakkan terutamanya perkara yang melibatkan isu semasa, namun terdapat perkara yang harus dielakkan, iaitu tidak menghasilkan karya yang mempunyai unsur perkauman, keagamaan atau isu sensitiviti yang menyentuh mana-mana pihak.\nSelain taklimat berkaitan dengan majalah Dewan Siswa, murid turut berpeluang\u00a0 menyertai aktiviti dalam kumpulan yang meliputi aktiviti \u201cMenukarkan Rencana kepada Pantun\u201d, \u201cMeneruskan Cerpen\u201d dan \u201cKuiz Menara Belon\u201d.\nTurut hadir dalam Majlis Perasmian Program Majalah Dalam Kelas (MDK) Dewan Siswa pada pagi tadi ialah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Tuan Haji Razali Che Mat; Ketua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani Omar dan editor dari Dewan Bahasa dan Pustaka." "Program Kesusasteraan Kanak-kanak Buka Tirai Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-67\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Ke-67 membuka tirainya pada hari ini dengan beberapa aktiviti pengembangan kesusasteraan kanak-kanak yang berlangsung di Anjung DBP dan Atrium Wisma DBP.\nAntara aktiviti yang dianjurkan termasuklah pertandingan memperagakan pakaian beragam dan melafazkan pantun, pertandingan bercerita serta pertandingan mewarna yang melibatkan penyertaan murid prasekolah, tahap satu dan tahap dua sekolah rendah.\n\u201cSatu daripada komponen sastera ialah puisi lama, iaitu pantun. Oleh itu, pertandingan yang diadakan ini bertepatan dengan fungsi DBP yang bertanggungjawab menjaga dan melestarikan sastera kebangsaan,\u201d ujar Encik Armin Azhari Saleh, Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-Kanak dan Remaja DBP.\nMenyentuh tentang matlamat dan falsafah DBP yang ditubuhkan sejak lebih enam dekad yang lalu, antara peranan DBP yang tercatat dalam Akta DBP (semakan tahun 1978, pindaan dan peluasan 1995) termasuklah memperkaya dan menggalakkan penggunaan bahasa Melayu serta memperkembang bakat sastera dalam bahasa kebangsaan.\nSelain bertujuan untuk memberikan pendedahan dan galakan kepada kanak-kanak untuk memperkasakan bahasa kebangsaan, program yang dianjurkan juga mengasah kemahiran berbahasa kanak-kanak.\n\u201cKemahiran berbahasa boleh dicapai apabila kanak-kanak dapat menguasai kaedah mendengar, melihat dan bertutur, maka pertandingan yang diadakan pada hari ini menerapkan tiga elemen penting tersebut,\u201d \u00a0ujar Puan Filzah Ibrahim dari Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak DBP.\nSementara itu, Puan Julie dari Petaling Jaya, Selangor yang hadir untuk mengiringi anaknya dalam Pertandingan Mewarna pula berkata bahawa pertandingan seperti ini dapat memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk berdaya saing dan memberikan fokus terhadap sesuatu tugasan dalam masa yang ditetapkan di samping memberikan keseronokan dalam proses pembelajaran.\n\u201cSyabas diucapkan kepada pihak DBP atas pelaksanaan program yang menyantuni kanak-kanak ini dan selamat menyambut Hari Ulang Tahun DBP yang ke-67!\u201d ujar beliau." "Kamus Jambatan Ilmu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRanau \u2013 Ceramah Bersahabat dengan Kamus (BdK) siri yang ke-12 dan ke-13 telah berjaya dilaksanakan di SMK Mat Salleh, Ranau pada 5 dan 6 Oktober 2022. Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Puan Julianah Kuli, Ketua Unit Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah. Siri ceramah ini diadakan bersempena dengan Festival Seni dan Alam (FESA) dengan tema \u201cAlam dilestari, Seni Dijiwai\u201d di Kundasang, Sabah.\nKedua-dua siri ceramah BdK ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan, iaitu disertai oleh 120 orang pelajar tingkatan satu hingga tingkatan enam. Selain pelajar dari SMK Mat Salleh Ranau, ceramah ini turut disertai oleh pelajar dari sekolah SMK Bundu Tuhan, SMA Al-Irsyadiah, SMK Ranau dan SMK Ulu Sugut.\nCeramah ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar tentang fungsi kamus, cara menggunakan kamus dengan betul, dan memberikan maklumat bahawa DBP menerbitkan pelbagai kamus ekabahasa, kamus dwibahasa, kamus istilah dan kamus bahasa sukuan Sabah, sekali gus membantu meningkatkan jualan kamus DBP, terutamanya kamus terbaharu terbitan DBP, iaitu Kamus Dewan Perdana yang autentik." "DBP Memerlukan Keberanian Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cKemanakah kita hendak pergi dalam perjalanan kita bagi mendepani cabaran peradaban masa depan? Begitulah persoalan yang dilontarkan oleh mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (1994 \u2013 2004), Dato\u2019 Abdul Aziz Deraman (Dato\u2019 A. Aziz Deraman) yang juga merupakan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) pada awal bicara semasa berlangsungnya \u201cWacana Mendepani Cabaran Peradaban Masa Depan\u201d yang diadakan pada petang ini bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-67.\nDalam sesi tersebut, beliau menyatakan bahawa DBP memerlukan keberanian baharu jika mahu terus kekal relevan sebagai gedung ilmu yang mempunyai sejarahnya yang tersendiri dalam bidang bahasa, sastera, persuratan, kebudayaan dan peradaban Melayu. Menurut beliau, DBP harus berkongsi misi dan visinya dalam bentuk idea baharu dan tidak boleh berada di persimpangan dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan di negara ini.\n\u201cPersuratan Melayu itu sendiri membawa rakyat untuk membina fikrah dan jati diri dalam tradisi keilmuan dalam tamadun Melayu\u201d demikian tegas beliau. Tambah beliau, bahasa Melayu tidak terhad pada soal linguistik sahaja kerana sesuatu bahasa itu perlu terus maju ke hadapan agar mampu menjadi bahasa yang berimpak tinggi kerana zaman kini telah berubah.\nDalam wacana tersebut juga, beliau menyifatkan setiap orang mempunyai ruang dan peluang untuk mengangkat diri mereka sebagai pemikir atau dalam konteks Islam sering disebut sebagai berilmu dan beramal. \u201cKeperluan untuk kita menyatukan satu bahasa di negara ini sebagai bahasa yang standard mampu mengisi kelompangan sedia ada,\u201d Oleh itu, beliau menyarankan karyawan DBP supaya mengumpulkan dan mengutip segala pengalaman ketika bertugas dengan menjunjung amanah agar negara mampu berdiri teguh sebagai negara bangsa yang kekal utuh biarpun negara ini dihuni oleh pelbagai kaum.\n\u201cYang paling penting, citra atau cabang yang membentuk peradaban manusia ialah bahasa dan sastera,\u201d jelas beliau.\nDemikianlah antara inti pati penting yang dilontarkan oleh Dato\u2019 A. Aziz Deraman, sepanjang sesi wacana itu berlangsung. Beliau turut menyarankan agar karyawan DBP terus berkarya walaupun memiliki tahap pendidikan yang tinggi. Beliau menyeru agar karyawan DBP terus membudayakan amalan menulis walau dalam apa-apa jua keadaan kerana menulis akan mengukuhkan kedudukan seseorang itu dan menjadikan mereka lebih berilmu dan disegani.\nSementara itu, beliau turut menyifatkan bahasa sebagai nilai wahana yang tidak ternilai dan mampu berkembang untuk memenuhi tuntutan peradaban manusia.\nWacana anjuran Bahagian Promosi dan Pengiktirafan ini dipengerusikan oleh Encik Rusdi Abd. Rahman. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBhg. Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Penerbitan DBP; YBrs. Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah; ketua-ketua bahagian serta karyawan DBP." "Program Seronoknya Membaca Tanam Rasa Bangga Berbahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Program Seronoknya Membaca merupakan kegiatan memupuk, mempersegar dan memperkasakan bahasa Melayu melalui pengucapan, pengkaryaan atau persembahan dalam usaha menanamkan rasa bangga berbahasa Melayu dalam kalangan murid sekolah.\nBersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-67, Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja (BPSKR) dengan kerjasama Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja melaksanakan Program Seronoknya Membaca yang melibatkan 75 orang murid sekolah rendah dan prasekolah.\nPelaksanaan program ini dapat memberikan pendedahan kepada murid tentang aspek mempelajari bahasa Melayu secara amali di luar bilik darjah melalui pendekatan yang menarik dan menghiburkan.\nSehubungan dengan itu, tiga buah pertandingan telah dilaksanakan, iaitu Petandingan Mewarna (Tahap Satu), Pertandingan Bercerita (Tahap Satu dan Dua) dan Pertandingan Aksi dan Pantun Si Cilik pada 21 Jun 2023 di Wisma DBP, Kuala Lumpur.\nTiga pemenang utama bagi setiap pertandingan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM300.00, RM200.00 dan RM100.00, manakala tiga pemenang hadiah sagu hati pula membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM50.00 setiap seorang.\nYang berikut merupakan senarai pemenang bagi ketiga-tiga acara yang dipertandingkan:\nPertandingan Mewarna (Tahap Satu)\nTempat pertama: Nur Syasya Farzana Rosshaidi\nTempat kedua: Goh Hong Yu\nTempat ketiga: Yasmin Eryna Yau\nPemenang sagu hati:\n1. Varshini Thanaraja\n2. Arissa Nur Iman Asma Azuwan\n3. Muhammad Hanis Aryan Mohd Hanis Zhariff\n\u00a0Pertandingan Bercerita (Tahap Satu)\nTempat pertama: Chuah Jing Heng\nTempat kedua: Muhammad Iman Zafran Mohammad Irzzat Reza\nTempat ketiga: Luxmie Mathialagan\nPemenang sagu hati:\n1. Wardah Soffiyah Mohd Saufi\n2. Amira Nur Sofia Mohd. Zaim\n3. Nur Marissa Khayla Mohd Zaidi\nPertandingan Bercerita (Tahap Dua)\nTempat pertama: Ng Zhi Xun\nTempat kedua: Izz An-Nisa\u2019 Mohd Khairuddin\nTempat ketiga: Nur Durrani Zulaiqha Mohd Afiq\nPemenang sagu hati:\n1. Tan Chu Han\n2. Irin Zandra Jazmine binti Eruwan\n3. Zara Afina binti Mohd Ahadan\nPertandingan Aksi dan Pantun Si Cilik\nTempat pertama: Muhammad Amir Zafran Mohd Zaim\nTempat kedua: Auni Nur Rifhan Mohhd Firdaus\nTempat ketiga: Aisar Anaqi Muhammad Fariz\nPemenang Sagu Hati:\n1. Mohd Adib Rizqi Sabri\n2. Aisyah Aafiyah Muhamad Faizzul\n3. Nur Khayra Adelia Mohd Khairul Haisyam\nHadiah pertandingan telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum DBP, YBrs. Dr. Azizul Ismail kepada para pemenang dalam Majlis Penyampaian Hadiah di penghujung program.\nBarisan juri pertandingan yang terlibat terdiri daripada pegawai perancang bahasa dan pereka DBP, iaitu Puan Nelawati Ngadul, Puan Ana Suhana Zainuddin, Encik \u2018Azimin Daud, Puan Siti Noorisa Abd Khlil, Puan Fansurina Ramli, Puan Etty Zalita Zakaria dan Puan Aini Abd. Hamid." "Tempat Ibadat Bukan Gelanggang Politik \u2013 Ketua Polis Kedah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKulim\u00a0\u2013 Pilihan Raya Negeri (PRN), termasuklah di Kedah akan berlaku tidak lama lagi dengan melibatkan sebanyak 1 585 690 orang pengundi.\nKetua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, soal keselamatan dan ketenteraman awam perlu diberi keutamaan sebelum PRN itu berlangsung.\nImam masjid, pengerusi kuil, pemimpin badan bukan kerajaan (Pertubuhan Bukan Kerajaan) perlu tahu tanggungjawab masing-masing dan tidak menjadikan tempat ibadat sebagai gelanggang berpolitik.\nBeliau berkata demikian ketika hadir ke Program Community Engagement Bersama Ketua Polis Kedah yang berlangsung di Kulim Golf & County Resort Jalan Hospital Kulim semalam.\nDalam program tersebut, sebanyak 150 orang terdiri daripada imam masjid, pengerusi kuil dan NGO hadir ke Program Community Engagement bagi menyuarakan isu semasa kepada pihak berkuasa.\nSelain itu, semua pihak perlu berhati-hati dalam percakapan mahupun perbuatan tanpa menyentuh 3R, iaitu agama (religion), bangsa (race) dan raja (royalty).\nPengerusi Pegawai Imam-imam Masjid Daerah Kulim (PPMK), Hamdam Abdul Rahman berkata, penerangan diberikan itu, termasuklah soal bagi pencegahan jenayah dan membanteras dadah boleh dijadikan panduan.\nPengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPE) daerah Kulim, S. Pannirselvam pula berkata, kehidupan masyarakat pasti dapat hidup dalam keadaan aman dan tenteram jika semua pihak tidak bertindak melampau akan tingkah laku masing-masing." "Pelajar Sekolah Antarabangsa Sahut Cabaran Baca Berita DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu \u2013 Bersempena dengan sambutan Ulang Tahun DBP Ke-67, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah telah menganjurkan Pertandingan Cabaran Baca Berita berkonsepkan \u201cJom ke DBP\u201d melibatkan penyertaan daripada pelajar Sekolah Antarabangsa di sekitar Kota Kinabalu, Sabah. Cabaran Baca Berita ini berkonsepkan pertandingan membaca berita dalam bahasa Melayu secara individu berdasarkan berita yang diterbitkan dalam JendelaDBP.\nPertandingan yang julung kali diadakan ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam kalangan pelajar di samping dapat mencungkil bakat dalam bidang pengacaraan dan kewartawanan. Program ini juga secara tidak langsung dapat memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaan negara.\nBerpandukan Pelan Strategik DBP 2021-2025, iaitu menambah bilangan khalayak dalam kegiatan kebahasaan dan persuratan Melayu, DBP Cawangan Sabah akan terus menggiatkan aktiviti seperti ini agar bahasa Melayu terus mekar bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa, khasnya di negara serumpun.\nAntara cabaran yang dihadapi oleh masyarakat pada hari ini adalah untuk membezakan antara berita yang benar dengan yang palsu. Oleh hal yang demikian, program seperti ini perlulah disusun secara sistematik dan diperluas kepada segenap lapisan masyarakat di seluruh negara. Program ini akan diadakan secara berterusan dan dilaksanakan dengan penuh kesungguhan oleh DBP Cawangan Sabah untuk melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan serta peka dengan isu semasa. Perkara ini akan menjadi pemangkin dan tonggak kepada pembentukan masyarakat Malaysia MADANI.\nCabaran Baca Berita pada kali ini disertai oleh 20 orang pelajar dari Sekolah Indonesia Kota Kinabalu, Sabah, dan majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh, Encik Rusdi Awang, Timbalan Pengarah I, DBP Cawangan Sabah. Sebanyak enam orang peserta telah dinobatkan sebagai pemenang peringkat akhir Pertandingan Cabaran Baca Berita tersebut, iaitu tempat pertama dimenangi oleh Muajiza Revania Arsanti, tempat kedua dimenangi oleh Ina, tempat ketiga dimenangi oleh Delima Zamrud dan tiga hadiah sagu hati dimenangi oleh, Helena Bengan Ola, Lusia Emilia Gunut dan Sylvia Patodingan." "Guna Bahasa dengan Tepat agar Bahasa Kebangsaan Terpelihara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu \u2013 Bahasa slanga yang digunakan oleh generasi muda pada hari ini janganlah dibiasakan dan perlulah sentiasa dibetulkan dengan menggunakan bahasa yang tepat agar bahasa kebangsaan terpelihara.\n\u201cBiasakan yang betul dan betulkan yang biasa dengan sentiasa merujuk kamus,\u201d ungkap Puan Juliana Kuli, Ketua Unit Pembinaan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah.\nBeliau berkata sedemikian dalam sesi ceramah Bersahabat dengan Kamus (BdK) bersama-sama murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badin.\nProgram BdK ini diadakan serentak dengan Program Majalah Dalam Kelas (MDK) dan dilaksanakan pada 19 Jun 2023 di Sudut Penulis, DBP Cawangan Sabah bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP ke-67.\nSebanyak 30 orang murid dan dua orang guru dari SMK Badin serta 30 orang murid dan tiga orang guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Unggun Menggatal terlibat dalam program ini.\nMelalui Program MDK, murid SK Unggun Menggatal bukan sahaja diberi pengetahuan tentang keseronokan membaca majalah, bahkan mereka turut diberi galakan untuk menunjukkan bakat berkarya.\nDi samping itu, mereka juga dibawa mengelilingi premis DBP dan diberi penerangan tentang aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan Melayu yang dilakukan oleh DBP sebagai pendedahan awal dalam kalangan murid sekolah rendah.\nProgram disempurnakan dengan sesi penyampaian cenderamata oleh Timbalan Pengarah I, Encik Rusdi Awang bagi Program MDK dan Timbalan Pengarah II, Puan Jennitah Nordin bagi Program BdK." "Anak Bangsa Membangun Potensi, Membina Masa Depan \u2013 Pemangku Raja Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGuar Nangka \u2013 Pemangku Raja Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat meninjau Program Madani Anak Bangsa \u2018Membangun Potensi, Membina Masa Depan anjuran Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Jabatan Pendidikan Negeri Perlis yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Nangka baru-baru ini\nUsaha yang bersepadu perlu dilakukan oleh semua lapisan komuniti agar dapat menyumbang kepada kecemerlangan anak-anak. Bagi melahirkan generasi muda pada abad ini, pelbagai usaha perlu diusahakan untuk menjadikan mereka sebagai peneroka ilmu dan bukan sekadar pengikut sahaja.\nSesungguhnya murid-murid pada hari ini merupakan pewaris yang bakal mendukung impian dan harapan negeri dan juga negara satu hari nanti.\nTitah baginda, nilai moral dan akhlak yang baik merupakan elemen penting dalam memupuk generasi kini. Senario ini dikatakan demikian dapat membantu murid untuk tidak terjebak dengan permasalahan sosial.\nIbu bapa juga perlulah menjadi suri teladan terbaik kepada anak-anak di rumah.\nProgram selama dua hari tersebut dilaksanakan dengan kerjasama pihak sekolah dan PIBGnya, Faizuddin Centre Of Educational Excellence (FCoEE) yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), TAWFEQ (Tabung Amanah Wakaf, Endowment dan Infaq) UCMI dan juga Tuanku Lailatul Shahreen Centre Of Children\u2019s Industry and Livelihood (CCMI) UCMI.\nAntara aktiviti yang dilaksanakan, termasuklah 5 Bengkel Percuma, Pameran Pendidikan, Temuduga Terbuka, Pemeriksaan Kesihatan Percuma, Kenduri Komuniti dan juga \u2018Tour De Faculty\u2019.\nPada hari pertama program, para pelajar Tingkatan 4 dan 5 daripada 20 buah sekolah\u00a0 di Perlis turut hadir mendapat input dan informasi terkini mengenai peluang bagi melanjutkan pelajaran peringkat pengajian tinggi dalam pelbagai program yang ditawarkan di UCMI." "PULAPES Tingkatkan Kemahiran 46 Penguat Kuasa Negeri Selangor\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJugra \u2013 Pusat Latihan Penguat Kuasa Selangor (PULAPES) telah melaksanakan Kursus Asas Penguat Kuasa Selangor Siri 1/2023 yang melibatkan sebanyak 46 orang pegawai dan anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta agensi penguatkuasaan lain di Selangor.\nDalam ucapan perasmian Majlis Perbarisan Tamat Latihan, Ketua Penolong Setiausaha (Modal Insan) pada pagi tadi, Tuan Mohd Muqsidi [email\u00a0protected] mengucapkan tahniah kepada peserta atas komitmen dan berharap agar mereka dapat memberikan pucuk kepimpinan terbaik, seterusnya menuju arah masa depan yang lebih efisien dalam memberikan perkhidmatan terhadap masyarakat.\nKita perlu bersikap profesional dan jangan culas dalam melaksanakan tugas kerana segala tindak-tanduk kita akan diperhatikan oleh masyarakat sekeliling. Setiap perlakuan kita melambangkan imej sebuah jabatan atau agensi kerajaan.\n\u201cSebagai penguat kuasa, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menggalas tanggungjawab yang besar. Jalankannya dengan penuh integriti di mana-mana pun kita berada. Lakukannya dengan segenap hati.\u201d\nDemikianlah kata Tuan Mohd Muqsidi semasa menyampaikan amanat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato\u2019 Haji Haris Kasim.\nMenurut Komandan PULAPES, Tuan Muhammad Osman, kursus ini merupakan satu bentuk latihan dan kemahiran untuk menekankan kekentalan jati diri, kekuatan fizikal dan rohani penguat kuasa berjiwa tegas, berdisiplin, berhemah, bertanggungjawab dan berintegriti.\nKetika diwawancara oleh sidang editor Dewan Masyarakat, Tuan Muhammad berkata,\nTugas penguat kuasa adalah mencabar dan memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang tinggi, terutamanya dalam menangani isu dan persepsi orang ramai yang mengharapkan perkhidmatan berkualiti.\nMengulas lanjut, Tuan Muhammad berkongsi bahawa penubuhan PULAPES sejak tahun 2003 diwujudkan atas dasar merealisasikan Selangor Maju 2005, melalui pendekatan kursus dengan pelbagai modul seperti pengetahuan asas undang-undang, tatacara kerja dalam penguatkuasaan, menguji ketahanan fizikal dan kawad, serta sahsiah diri dalam khidmat masyarakat.\n\u201cAlhamdulillah, atas komitmen semua, PULAPES berjaya melaksanakan modul yang bersesuaian dan menjalankan latihan asas. Selain itu, kita juga turut menyediakan kursus lanjutan dengan kerjasama beberapa pihak,\u201d ujar beliau.\nMenerusi perkhidmatannya selama 37 tahun, Tuan Muhammad berkata bahawa tanggungjawab penguat kuasa adalah untuk memastikan undang-undang yang diperuntukkan oleh agensi dan PBT dilaksanakan dan dipatuhi bagi mencapai matlamat komuniti setempat.\nFoto: Khai DBP." "UiTM Cawangan Perlis Tingkatkan Budaya Inovasi dan Perniagaan Usahawan Mahasiswa melalui KLiKS\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Karnival Lestari Inovasi dan Keusahawanan Siswa (KLiKS) 2023 telah berlangsung dengan jayanya selama tiga hari bermula dari 20 hingga 22 Jun 2023 bermula dari pukul 8.00 pagi hingga pukul 11.00 malam.\nKarnival yang buat julung-julung kali diadakan ini merupakan program kerjasama antara Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Malaysian Academy of SME & \u2018Eb ntrepreneurship Development (MASMED) dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UiTM Cawangan Perlis.\nPenganjuran karnival seperti ini dilihat dapat memperkasakan peranan dan sumbangan UiTM Cawangan Perlis kepada masyarakat setempat selain membantu meningkatkan hubungan antara universiti dengan agensi kerajaan.\nSelain itu, karnival tersebut juga dapat membuka peluang perniagaan kepada masyarakat setempat melalui aktiviti jualan serta mempromosikan bidang kesenian dan pelancongan di negeri Perlis.\nKLIKS 2023 menawarkan pengisian yang menarik seperti program bual bicara keusahawanan; program personal grooming; demonstrasi masakan dan memanah; pameran dari pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Chin Hin dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).\nPada masa yang sama, turut dijalankan serentak sesi pembentangan idea pelan perniagaan (Business Pitching) oleh usahawan pelajar, iaitu mereka berpeluang untuk mendapatkan khidmat nasihat juri yang pakar dalam bidang inovasi perniagaan.\nProgram tersebut dirasmikan oleh YBhg. Profesor Ts. Dr. Mohd Azlan Mohd Ishak, Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Akademik yang hadir bagi mewakili Rektor UiTM Cawangan Perlis. Turut hadir ialah wakil agensi seperti PDRM, JPJ, AADK, Kraftangan Malaysia, KWSP, Hospital Tuanku Fauziah, Hospital Sultanah Bahiyah, AIA dan Bank Rakyat.\nKarnival yang mendapat penajaan daripada AIA, Lotus MFZ, Bangsawan Distribution Sdn. Bhd. dan RH Rimbawan Trading ini mencatatkan lebih 6000 penyertaan serta pelibatan dalam kalangan warga kampus, wakil agensi dan masyarakat setempat." "Konsep G.R.E.A.T. Tingkatkan Imej dan Tahap Perkhidmatan Awam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Penjawat awam perlu menerapkan konsep \u201cThe G.R.E.A.T. Civil Service\u201c dalam amalan pekerjaan seharian bagi meningkatkan imej dan tahap perkhidmatan awam di Malaysia.\nAkronim G.R.E.A.T. ini diketengahkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali yang bermaksud tadbir urus baik (Good governance); bertanggungjawab (Responsible); ihsan (Empathy); kebertanggungjawaban (Accountable); dan fokus pada maklumat (Tenacity of purpose).\nKecekapan penjawat awam bukan sahaja penting dalam pentadbiran sesebuah negeri atau negara, malah menjadi tulang belakang dan kayu pengukur dalam keberkesanan pengurusan terutamanya di Perlis.\nDemikian titah Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menerima kunjungan sembah mengadap dan taklimat bersama-sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis yang baharu, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof di Galeri Diraja, Arau baru-baru ini.\nBaginda juga menzahirkan keyakinan bahawa penjawat awam di Perlis telah memberikan yang terbaik dan akan terus berusaha keras dalam melunaskan tanggungjawab serta amanah yang diberikan dengan sebaiknya.\nTurut hadir, Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah (R504AW), Leftenan Kolonel Lasahi Laiji; Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus; dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang menyampaikan taklimat tentang fungsi organisasi, peranan dan hala tuju organisasi masing-masing.\nTuanku Pemangku Raja Perlis yang juga merupakan Komander R504AW, Pengerusi YTSP Perlis dan Yang Dipertua MAIPs turut berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis yang dilantik sebagai Ahli Lembaga YTSP Perlis dan juga Ahli Majlis MAIPs. Beliau juga bakal menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri.\nSebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Yusran Shah mampu membantu untuk memacu organisasi terbabit dalam mengurus tadbir kebajikan dan pembangunan negeri ini dengan lebih mampan." "Universiti Utara Malaysia Tersenarai dalam 100 Universiti Terbaik Asia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAlor Setar \u2013 Universiti Utara Malaysia (UUM) tersenarai dalam kelompok 100 universiti terbaik Asia dalam senarai yang dikeluarkan oleh Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2023.\nDalam tempoh tiga tahun, iaitu sejak tahun 2021 hingga tahun 2023, UUM telah berjaya membuat lonjakan 56 anak tangga sehingga berjaya berada dalam kelompok 100 universiti terbaik di Asia. Pada tahun ini, UUM berada di kedudukan ke-99, berbanding dengan kedudukan ke-148 pada tahun 2022 dan kedudukan ke-155 pada tahun 2021.\nUUM turut berkongsi kedudukan dengan tiga lagi universiti dari luar negara, iaitu Universiti Jazan, Arab Saudi, Universiti Perniagaan dan Ekonomi Antarabangsa, China, dan Universiti Cankaya, Turkiye.\nNaib Canselor UUM, YBrs. Prof. Dr. Mohd Fo\u2019ad Sakdan berkata,\nLonjakan sehingga 56 anak tangga ini adalah hasil usaha dan komitmen daripada warga UUM sendiri yang bersama-sama ingin menjadikan universiti ini sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka Dunia dan menjayakan Pelan Strategik UUM.\nKedudukan UUM dalam senarai 100 universiti terbaik Asia juga membolehkan universiti ini bergerak jauh ke hadapan bagi meluaskan lagi jaringan pada peringkat nasional dan antarabangsa.\nTerdahulu, Kelab Media Elit Kedah (KMEK) turut membuat kunjungan hormat ke UUM yang diketuai oleh presidennya, Adie Suri Zulkeffli.\nMenurutnya lagi, kejayaan ini pastinya tidak mampu dicapai tanpa sokongan padu daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memberikan sokongan kepada UUM untuk terus merealisasikan visi dan misi UUM.\nLonjakan besar UUM ini telah didorong oleh peningkatan dalam impak sitasi khususnya. Times Higher Education (THE) Asia University Rankings yang dikeluarkan secara tahunan menyaksikan sebanyak 669 universiti seluruh Asia disenaraikan bagi penarafan bagi tahun 2023." "GEBARA Jalin Kerjasama Kebahasaan dan Kesusasteraan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSubang Jaya \u2013 Program Gegar Bahasa dan Sastera (GEBARA) bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta/Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) telah dilaksanakan dengan meriahnya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi dengan kerjasama Universiti Taylor\u2019s Subang pada baru-baru ini.\nProgram yang melibatkan dua kegiatan utama, iaitu Ekplorasi Bahasa Jiwa Bangsa dan Gema Bahasa Jiwa Bangsa ini telah berlangsung di Taylors University Subang Jaya dan dihadiri oleh para peserta dalam kalangan pelajar, pensyarah dan staf universiti serta staf daripada sektor swasta dan GLC.\nProgram yang memfokuskan kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan seperti ini mula diadakan sejak awal tahun 1960-an melalui program Minggu Bahasa Kebangsaan, kemudian diteruskan pada tahun-tahun yang berikutnya dengan nama Gerakan Cintailah Bahasa Kita, Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta, Bulan Bahasa dan Sastera Negara, Bulan Bahasa Kebangsaan dan kini dikenali dengan nama Dekad Bahasa Kebangsaan.\nPengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, iaitu Puan Fauzilahyatun Mustafa dalam ucapannya berkata,\nObjektif utama program GEBARA ini adalah untuk mengukuhkan jalinan kerjasama antara DBP dengan pihak swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan dalam acara kebahasaan dan kesusasteraan serta menerapkan kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa kebangsaan. Program ini turut memberi ruang dan peluang kepada generasi muda untuk menyerlahkan bakat masing-masing, khususnya dalam bidang bahasa dan sastera.\nPada sebelah pagi diadakan Pertandingan Eksplorasi Bahasa Jiwa Bangsa. Program yang berkonsepkan jejak bahasa ini berjaya menarik penyertaan lapan pasukan yang bertanding, iaitu PETRONAS, Kraftangan Malaysia, Lembaga Tabung Angkatan Tentera Malaysia, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), UMW Corporation Sdn. Bhd. dan pasukan tuan rumah, Universiti Taylors.\nDalam pertandingan ini, kumpulan Ahh Ghisau daripada Kraftangan Malaysia mengungguli persaingan, manakala kumpulan \u201cLestari\u201d daripada Petronas di tempat kedua dan kumpulan Kita Menang daripada KTMB di tempat ketiga. Hadiah sagu hati pula dimenangi oleh kumpulan Lipan Besi (KTMB), kumpulan Teratai daripada Taylors University dan kumpulan Adikara daripada UMW Corporation Sdn. Bhd.\nPada sebelah petang pula diadakan program Gema Bahasa Jiwa Bangsa yang berkonsepkan persembahan kesenian dan kebudayaan. Program ini menampilkan Sasterawan Negara ke-15, iaitu YBhg. Dato\u2019 Rahman Shaari, yang mempersembahkan puisi artistik yang berjudul \u201cDialog\u201d, \u201cDiam\u201d, \u201cApa Ditakutkan kepada Malam\u201d dan \u201cAku Hanya Mahu ke Seberang\u201d.\nPeserta lain yang terlibat ialah juara Pertandingan Puisi Kebangsaan, Norzailani Mohd Nuzi dan Mohd Aqi Mohd Azmi. Program ini turut dimeriahkan dengan persembahan pantun, nyanyian lagu dan dendangan syair.\nKumpulan SUBARI pula tampil dengan persembahan sketsa yang bertajuk \u201cBahasaku di Mercu\u201d manakala penyanyi daripada PETRONAS, Ummu Nadiah Suhaimi menggamatkan suasana dengan menyanyikan lagu \u201cKurik Kundi\u201d. Program gema bahasa ini diakhiri dengan persembahan lagu puisi yang bertajuk \u201cMencari Isteri\u201d oleh penyanyi popular, Abot.\nSementara itu, menurut Puan Norshahila Mohamad Razak, iaitu Ketua Program Pusat Bahasa dan Pengajian Liberal semasa berucap mewakili Universiti Taylor\u2019s menyatakan bahawa universiti ini merupakan universiti swasta yang menyediakan Modul Bahasa Melayu Komunikasi kepada pelajar antarabangsa di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda, manakala pelajar tempatan yang tidak mengambil subjek Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu mengikuti Modul Bahasa Kebangsaan A, dan wajib lulus modul ini untuk membolehkan mereka bergraduasi.\nBahasa Melayu tidak banyak digunakan di sini kerana pelajar menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dalam komunikasi dan pengajian. Namun begitu, kami lebih bernasib baik kerana penggunaan bahasa Melayu dalam program dan penyelidikan disokong oleh Prof. Dr. Anindita Dasgupta, Ketua Pusat Pengajian dan Sastera Liberal, Universiti Taylor\u2019s, walaupun beliau berasal dari India." "Inisiatif Bangkitkan Kembali Golongan Asnaf dan B40\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani \u2013 Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa baginda percaya setiap masalah ada penyelesaiannya dan tiada yang mustahil jika kita terus berusaha dan tidak berputus asa. Oleh itu, inisiatif untuk membangunkan kembali golongan yang terjejas seperti asnaf dan B40 khususnya akibat COVID-19 amatlah dititikberatkan.\nPerlu kita ingat bahawa setiap suatu perkara perlu diselesaikan daripada akarnya. Maka dengan itu, sebelum golongan asnaf ini dibimbing, pembangunan untuk menambah kepakaran kepada para guru kaunselor di seluruh negeri Perlis ini perlu dijayakan.\nTujuannya adalah supaya kaunselor dapat lebih mendekati dan menyelami isi hati dan konflik dalam kalangan asnaf.\nSesungguhnya, sokongan yang jitu dan padu perlu untuk menambah keyakinan kepada golongan asnaf dan B40 ini supaya mara ke hadapan dan berusaha untuk mengubah nasib mereka ke arah yang lebih baik dan bermakna.\nDemikian titah baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan majlis penutupan Bengkel Pembangunan Insan Terpilih Madani di Dewan Kota Melaka, Park Avenue Hotel, Sungai Petani, baru-baru ini.\nKeberangkatan tiba baginda dan Raja Puan Muda Perlis DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengerusi Faizuddin Centre Of Educational Excellence (FCoEE), Datuk Prof. Emeritus. Dr. Kamarudin Hussin; Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Perlis Sektor Pembangunan Murid, Che Rasaidi Che Yob dan Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan & Perkhidmatan Pelajar, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr. Farah Farhana Zainal.\nBengkel tersebut dianjurkan oleh Faizuddin Centre of Educational Excellence dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan UniMAP.\nMenurut Dr. Kamarudin, antara inisiatif untuk mengubah kehidupan keluarga asnaf ke arah hidup yang lebih baik adalah melalui cetusan idea untuk memperhebat guru kaunseling khususnya di negeri Perlis. Jelas beliau lagi, \u201cSetiap permasalahan perlu diselesaikan dari akarnya dan Bengkel Pembangunan Insan Terpilih Madani ini diadakan untuk memperkasakan guru kaunseling demi merubah kehidupan keluarga asnaf di Perlis\u201c.\nProgram ini turut bermatlamat untuk mengukuhkan kumpulan terlatih pembangunan insan melalui gabungan pelajar dan guru kaunseling yang dilihat mempunyai potensi kuat dalam menangani isu kekeluargaan dalam keterjaminan pendidikan terutama keluarga asnaf dan B40.\nProgram ini akan melalui tiga fasa, iaitu\u00a0 fasa 1 \u201cBengkel Pembangunan Insan Terpilih Madani\u201c yang melibatkan guru kaunseling di Perlis. Manakala fasa 2 pula ialah \u201cBengkel Intensif Pembangunan Insan Terpilih Madani\u201c yang melibatkan sebanyak 50 orang Ketua Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih (KPPIM), 200 orang pelajar sekolah dan universiti Rakan Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih Madani (RPPIM).\nSeterusnya, fasa 3, iaitu yang terakhir ialah \u201cBengkel Pembangunan Insan Terpilih\u201c yang akan mempraktikkan modul \u201cturun padang\u201c, iaitu peserta program akan menjadi Ketua Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih yang seterusnya akan membimbing Rakan Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih MADANI yang terdiri daripada pelajar sekolah dan universiti." "Hubungan China-Arab Saudi Semakin Akrab?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJalinan hubungan diplomatik antara China dengan Arab menyaksikan perkembangan yang sangat positif. Situasi ini turut mendapat perhatian dunia khususnya Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.\nJika sebelum ini, China berhasil memulihkan hubungan diplomatik antara Iran dengan Arab Saudi, kini peranan China semakin menyerlah dan meluas melalui perdagangan ekonomi terbukanya ke beberapa buah negara yang sebelum ini rapat dengan AS dan Eropah.\nDalam perkembangan terbaharu, Reuters melaporkan, negara Barat terutamanya AS menerima tamparan hebat apabila usaha mereka untuk mengekang pembangunan ekonomi China yang semakin kabur dan tersasar jauh selepas Arab Saudi secara terbuka memilih Beijing untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang.\nDalam Persidangan Perniagaan Arab-China ke-10 yang berlangsung Jun 2023, Menteri Tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz Salman mengumumkan kesediaannya untuk bekerjasama dan bukannya ingin bersaing dengan China. Beliau menegaskan bahawa beliau tidak akan menghiraukan sebarang syak wasangka Barat terhadap hubungan Riyadh yang semakin akrab dengan Beijing.\nSebagai pengeksport minyak utama dunia, hubungan dua hala Arab Saudi dengan pengguna tenaga terbesar dunia itu membabitkan perjanjian hidrokarbon. Kerjasama antara Riyadh dengan Beijing juga semakin rapat dalam bidang keselamatan dan teknologi tinggi di tengah-tengah ketegangan hubungan politik yang mencetuskan kebimbangan AS.\n\u201cSaya sebenarnya tidak mengendahkannya kerana sebagai ahli perniagaan, kami akan mengambil peluang yang datang kepada kami. Kami tidak perlu berdepan dengan sebarang pilihan yang ada kaitan sama ada dengan kami atau dengan yang lain,\u201d jelas Putera Abdulaziz ketika ditanya mengenai kritikan terhadap hubungan dua hala itu.\nRatusan usahawan dan pelabur China termasuk penggubal dasar dari 26 buah negara menuju ke Riyadh untuk menghadiri persidangan berkenaan yang diadakan hanya beberapa hari selepas lawatan oleh Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.\nHari pertama persidangan menyaksikan pemeteraian 30 peratus perjanjian pelaburan bernilai A.S.$10 bilion merentasi pelbagai sektor termasuklah dalam bidang teknologi, tenaga, pertanian, hartanah, mineral, rantaian bekalan, pelancongan dan penjagaan kesihatan.\nMenurut Kementerian Pelaburan, kerajaan Arab Saudi turut menandatangani perjanjian dengan beberapa buah delegasi China membabitkan projek usaha sama penyelidikan automotif, pembangunan, pembuatan dan jualan, pembangunan pelancongan dan aplikasi, selain pengeluaran gerabak serta roda kereta api.\nAcara selama dua hari itu dianjurkan oleh Kementerian Pelaburan dan Luar Arab Saudi dengan kerjasama Sekretariat Agung Liga Arab, Majlis Penggalakan Perdagangan Antarabangsa China dan Kesatuan Dewan Arab. Dalam usaha meningkatkan lagi hubungan perdagangan dengan China, Arab Saudi turut mengumumkan kebangkitan semula Laluan Sutera di luar acara itu.\nMenteri Pelaburan, Khalid Al-Falih berkata, negara itu boleh berfungsi sebagai pintu masuk China ke dunia Arab sejajar dengan visi mempelbagaikan ekonomi dan menggunakan teknologi moden untuk meningkatkan kemahiran golongan belia.\nJelasnya, momentum hubungan antara kedua-dua negara juga meningkatkan prospek untuk mencapai hasil terbaik dalam perjanjian perdagangan bebas antara China dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang didominasi Arab Saudi sejak 2004. Tambahnya, sebarang perjanjian perlu melindungi industri Teluk yang sedang berkembang apabila rantau itu mula mempelbagaikan pelaburan ke arah sektor ekonomi bukan minyak.\nPada Mac 2023, syarikat minyak gergasi Arab Saudi, Saudi Aramco mengumumkan dua perjanjian utama untuk meningkatkan pelaburan di China, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai pembekal utama minyak mentah di negara itu. Langkah itu merupakan perjanjian terbesar yang diumumkan sejak lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Arab Saudi pada Disember tahun lalu apabila beliau menggesa perdagangan minyak dalam mata wang yuan, yakni satu langkah yang akan melemahkan penguasaan dolar AS.\nDalam hal ini, tentu AS merasa kurang senang apabila melihat semakin kuatnya hubungan China-Arab Saudi mutakhir ini. Mengimbas kembali, Presiden AS dan China sama-sama mengunjungi Arab Saudi pada tahun 2022. Presiden AS, Joe Biden mengunjungi Arab Saudi pada Julai 2022, manakala Presiden China, Xi Jinping mengunjungi Arab Saudi pada 8 hingga 9 Disember 2022.\nAS harus menerima fakta bahawa iklim geopolitik dan ekonomi pada saat ini telah berubah secara total. AS tidak boleh lagi melihat Arab Saudi seperti dua atau tiga dekad lalu. Sebaliknya, Arab Saudi juga tidak boleh melihat AS sama seperti dua atau tiga dekad lalu. Perubahan geopolitik dan ekonomi merupakan faktor terpenting yang mendorong hubungan China-Arab Saudi semakin akrab. Selanjutnya, AS harus menerima kenyataan bahawa China menjadi saingannya di Arab Saudi. Arab Saudi masih memerlukan AS, terutamanya dalam soal keamanan kerana sebahagian besar persenjataan Arab Saudi masih dibekalkan dari AS. Selain itu, AS masih memiliki banyak pangkalan tentera di kawasan Teluk, seperti Pangkalan Armada di Bahrain dan Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar.\nNamun begitu, kepentingan ekonomi Arab Saudi pada amsa ini ini adalah di Asia Timur, iaitu bersama-sama China, bukan lagi ke AS dan Eropah. Eksport minyak Arab Saudi di empat buah negara Asia iaitu China, Jepun, Korea Selatan dan India, pada tahun 2020 mencapai 66 peratus daripada keseluruhan eksport minyak Arab Saudi ke seluruh dunia. China kini menjadi pengimport minyak terbesar dari Arab Saudi. China kini mengimport minyak lebih dari 3 juta barel per hari dari Arab Saudi dan negara Arab Teluk lain.\nImport Arab Saudi dari China pada 2021 mencapai sasaran 20 peratus daripada keseluruhan import Arab Saudi dari seluruh dunia. Ada pun nilai import Arab Saudi dari AS pada tahun 2021 hanya berjumlah sekitar 10 peratus yang didominasi senjata dan produk teknologi canggih daripada keseluruhan import Arab Saudi, namun hubungan perdagangan China-Arab Saudi tahun 2021 mencapai sasaran sekitar 67 dolar AS.\nAspek geoekonomi di Arab Saudi dan Timur Tengah kini terus membuka arena persaingan antara AS-China di Arab Saudi. Hal ini tentunya tidak mudah bagi Arab Saudi kerana mereka harus melihat kemungkinan terburuk yang boleh mencetuskan kemarahan AS. Misalnya, AS memberikan pensyaratan sedemikian rupa kepada Arab Saudi untuk mendapatkan persetujuan penjualan senjata canggih buatan AS ke Arab Saudi.\nPada 5 Oktober 2022, Arab Saudi dan Rusia berserta negara yang bergabung dalam Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC) bersepakat memangkas pengeluaran minyak sebesar 2 juta barel per hari mulai November tahun lalu.\nDalam wawancara dengan CNN pada 11 Oktober 2022, Presiden AS, Joe Biden menegaskan akan ada balasan terhadap Arab Saudi. Sejumlah anggota Dewan Parlimen dan Senator AS, khususnya dari Parti Demokrat meluahkan kemarahan dan mendesak Rumah Putih untuk mengkaji semula hubungan dua hala dengan Arab Saudi.\nMenteri Luar Arab Saudi, Raja Faisal Farhan telah mengatakan, keputusan OPEC semata-mata dibuat atas pertimbangan ekonomi kerana keputusan itu diambil secara sebulat suara oleh para anggotanya.\n\u201cPara anggota OPEC bertindak secara bertanggungjawab dan mengambil keputusan yang tepat,\u201d katanya kepada televisyen Arab Saudi, Al-Arabiya. Kedutaan Arab Saudi di Washington juga mengeluarkan pernyataan bahawa relasi AS-Arab Saudi adalah \u201chubungan yang strategik\u201d serta \u201cmeningkatkan keamanan dan kestabilan di Timur Tengah\u201d.\nMelalui pernyataan itu, Riyadh seolah-olah ingin mengingatkan Washington agar tidak bersikap emosional dan berfikir dengan lebih mendalam sebelum mengambil langkah-langkah yang boleh mempengaruhi hubungan AS-Arab Saudi. Kompas melaporkan, situasi di Timur Tengah pada hari ini menyaksikan \u201ctsunami perdamaian\u201d dengan menyatakan bahawa Arab Saudi kini \u201csedang berperang melawan peperangan\u201d melalui pemulihan hubungan diplomatik dengan Iran dan Turki.\nIran dan Arab Saudi mengumumkan mengenai keberhasilan perbincangan pada Mac 2023 lalu apabila dialog tersebut menghasilkan kesepakatan untuk memulihkan hubungan diplomatik dan membuka kembali kedutaan besar dalam tempoh dua bulan.\nRaja Arab Saudi, Salman Abdulaziz secara terang-terangan menunjukkan hubungan mesranya kepada China dan Rusia. Pada Disember tahun lalu, kabinet Arab Saudi bersetuju untuk bergabung dengan Organisasi Kerjasama Shanghai (SCO). Hal ini dianggap sebagai pembuktian bahawa Riyadh lebih memilih China berbanding dengan AS.\nSementara itu, khabar yang menyatakan Arab Saudi disebut sedang giat mengusahakan\u00a0 perbincangan secara aktif dengan China berhubung dengan penggunaan mata wang Yuan untuk membeli minyak. Hal ini disebut sebagai langkah baharu demi mengurangi dominasi dolar AS di pasaran minyak global.\nBaru-baru ini, Arab Saudi juga membuat kejutan dengan memutuskan untuk memulihkan hubungan diplomatik dengan Iran. Sedangkan, Washington dan rakannya di Timur Tengah, Israel, masih memandang Iran sebagai negara yang menyimpan ancaman besar.\nHal ini merupakan bukti kukuh tentang peranan China dalam arena politik global kerana didapati telah mengalahkan AS dan ditafsirkan oleh penganalisis sebagai tamparan terhadap pemerintahan Biden serta sebagai bukti bahawa kekuatan China yang sedang meningkat. Jika hubungan AS-Arab Saudi melalui jalan sukar secara berterusan, maka tidak mustahil AS akan berdepan dengan pengaruh yang semakin terhakis di Timur Tengah memandangkan sebelum ini Arab Saudi merupakan proksi AS yang terpenting dalam kalangan negara Arab." "Bengkel Penghakiman Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Tingkatkan Kredibiliti Penghakiman Sayembara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran telah menganjurkan Bengkel Penghakiman Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) yang diadakan di Hotel Regalpark, Jalan Kampung Attap pada pagi ini.\nMenurut Pengarah SDPK, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Bengkel Penghakiman SDPK ini julung-julung kali diadakan bersempena dengan penganjuran SDPK kali ke-37 pada tahun ini,\u00a0.\nMelalui bengkel ini, diharapkan pihak persatuan peringkat negeri dan peserta bengkel mendapat pendedahan dan serta meningkatkan kredibiliti juri atau hakim sayembara pada masa hadapan, khususnya dalam program Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan\u201c.\nPembimbing yang ditampilkan dalam bengkel ini terdiri daripada tokoh yang arif dalam dunia sayembara puisi dan sering terlibat dalam SDPK, iaitu YBrs. Dr. Lim Swee Tin, Tuan Haji Hamzah Hamdani. Bengkel ini juga dikelolakan oleh Encik Azmi Ismail.\nMelalui bengkel ini, peserta didedahkan dengan sejarah dan pengenalan teknik penjurian serta penyelarasan pemarkahan SDPK agar peserta yang dinilai kelak tidak berasa sangsi terhadap keputusan yang diputuskan oleh juri.\nMajlis penutup bengkel ini telah disempurnakan oleh Presiden GAPENA, YBhg. Datuk Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan.\nDalam ucapan penutupan program tersebut, beliau menyatakan bahawa bengkel yang dilaksanakan ini sangat menarik kerana peserta mendapat ilmu dan pencerahan secara teori dan amali.\n\u201cPerkara yang dikongsikan dalam bengkel ini adalah penting untuk mewujudkan kesepakatan dalam kalangan hakim SDPK,\u201c jelasnya lagi.\nBengkel Penghakiman SDPK ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan pelibatan sebanyak 40 orang peserta yang mewakili 20 persatuan selain 50 orang peserta yang menyertai bengkel ini secara individu.\nPeringkat saringan SDPK kali ke-37 pada tahun ini akan bermula pada 1 Julai 2023 hingga 14 September 2023, manakala penganjuran SDPK pada peringkat kebangsaan pula akan diadakan pada 15 September 2023.\nPenganjuran SDPK yang diadakan sejak tahun 1987 bagi menyemarakkan semangat cintakan tanah air menerusi alunan puisi ini melibatkan penyertaan daripada 13 negeri, termasuklah tiga wilayah serta dua agensi, iaitu Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia." "Pendekatan Pengajaran Kreatif Tarik Minat Pelajar \u2013 Pemangku Raja Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Pendekatan pengajaran yang kreatif, ceria serta\u00a0 perasaan yang gembira dapat menarik minat pelajar untuk kekal dalam momentum yang optimum.\nSelain itu, penerapan elemen kasih sayang dan beradab tinggi dapat meningkatkan semangat dan motivasi para pelajar dalam semua peringkat pembelajaran.\nDemikian menurut hebahan media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang disiarkan pada hari ini yang dititahkan oleh Pemangku Raja Perlis Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat mengetuai lawatan khas ke Kompleks Kementerian Pendidikan Ethiopia di ibu negaranya, iaitu Addis Ababa baru-baru ini.\nKeberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut mesra oleh dua Timbalan Menteri Pendidikan Ethiopia, iaitu Dr. Samuel Kifle dan Dr. Fanta Mandefro.\nPada kunjungan berkenaan, baginda berdua diberikan taklimat mengenai usaha Kerajaan Ethiopia dalam melaksanakan transformasi pendidikan dengan mempertingkatkan teknologi dalam mengurangkan permasalahan yang dihadapi dalam sektor pendidikan.\nHal tersebut dilaksanakan melalui pelbagai pendekatan pengajaran dan pembelajaran dalam mempertingkat kadar peratusan membaca serta melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat.\nDalam pertemuan tersebut juga, Pemangku Raja Perlis yang turut diiringi oleh Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor berkongsi pengalaman mengenai usaha Perlis sebagai sebuah Negeri Ilmu melalui pendekatan kerjasama pintar dengan pelbagai pihak sama ada di dalam negara mahupun luar negara.\nBaginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut bertitah,\nModel kerjasama antara MAIPs dan Ethiopian Islamic Affairs Supreme Council (EIASC) melalui perjanjian hasrat persefahaman yang ditandatangani boleh dikembangkan untuk diterapkan kepada pelbagai institusi dan agensi pendidikan di Malaysia dan Ethiopia.\nTerdahulu, Pemangku Raja Perlis dan Raja Puan Muda Perlis\u00a0 turut mengadakan lawatan ke Sekolah Merwa Academy, di Addis Ababa, iaitu sebuah sekolah rendah yang memberikan fokus terhadap sikap dan konsep pembelajaran praktikal, selain turut mengunjungi Addis Ababa University (AAU) yang ditubuhkan pada tahun 1950 dan merupakan universiti tertua dan terbesar di sana.\nMAIPs dalam kerangka memanfaatkan keupayaan yang ada padanya agar dapat dikongsi oleh masyarakat Islam di tempat lain, turut berusaha untuk membolehkan masyarakat di sana melihat ruang kelebihan yang ada pada MAIPs untuk dimanfaatkan oleh mereka.\nUntuk rekod, MAIPs mempunyai pengalaman kolaborasi bersama-sama Muhammadiyah Indonesia dalam menubuhkan Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) di Padang Besar, Perlis, selain mempunyai hubungan rapat dengan pihak enam Majlis Agama di Wilayah persisiran Laut Andaman, Thailand.\nSelain itu, MAIPs juga pernah menyumbangkan sebuah Kompleks pendidikan yang dijadikan Fakulti al-Quran dan As-Sunnah, Mujamma\u2019 Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, di Fatoni University (FTU), Thailand.\nFoto: Ihsan MAIPs" "UiTM Pe[email\u00a0protected] Bantu Tingkatkan Pendidikan Asas Golongan Asnaf\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Pendidikan asas merupakan komponen penting dalam pembangunan sesebuah komuniti, yakni merupakan antara tujahan penting yang digariskan dalam kerangka Malaysia MADANI terutamanya pendidikan kepada golongan asnaf.\nPendidikan asas seperti membaca, menulis dan mengira (3M) perlu diberi penekanan untuk mengelakkan golongan asnaf ini tercicir kerana menerusi pendidikan, mereka mampu keluar dari kemiskinan.\nMenyedari keperluan tersebut, UiTM Cawangan Perlis mengambil inisiatif melalui dua penganjuran Program UiTM [email\u00a0protected], iaitu Program Ukhuwah Fillah bersama Teratak Rahmat dan Sumbangan MADANI Curahan Kasih selama dua hari bermula 24 hingga 25 Jun 2023.\nKedua-dua program tersebut diadakan di dua tempat berasingan, iaitu di Pusat Jagaan Teratak Rahmat, Mata Ayer dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Kuala Perlis, Kuala Perlis.\nProgram yang dilaksanakan oleh sekumpulan pelajar dari Fakulti Sains Gunaan menerusi kursus Etika dan Pembangunan Kendiri yang diketuai oleh saudari Nur Elia Eliyana Indra Putra dan saudara Muhammad Afiq Haikal Azhar ini melibatkan penyertaan hampir sebanyak 70 orang anak-anak asnaf yang berumur bermula daripada 6 hingga 12 tahun.\nAktiviti yang dijalankan melibatkan beberapa aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK) seperti asas matematik, asas membaca melalui permainan papan kenyataan (board game), bina jambatan, teka-teki dan aktiviti mencanting batik.\nPenganjuran program ini dapat mencitrakan keperluan untuk terus membantu komuniti yang memerlukan, sekali gus meningkatkan kemahiran 3M dalam kalangan kumpulan sasar.\nSelain itu, program ini turut membantu untuk mewujudkan rasa kesedaran dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar UiTM Cawangan Perlis bagi membantu masyarakat setempat secara sukarela.\nPenasihat program, Puan Eliy Nazira Mat Nazir mengatakan bahawa aktiviti sedemikian sangat sesuai dilakukan oleh pelajar kerana mampu mewujudkan rasa empati dalam diri.\nPara pelajar ini juga dapat mempraktikkan kemahiran asas yang dipelajari dalam kelas seperti penyelesaian masalah, perancangan dan penyelesaian projek, kerja berpasukan, dan komunikasi yang berkesan.\nKemahiran ini dapat membantu mereka cemerlang dalam bidang kerjaya pilihan mereka kelak." "Musim Durian dan Orang Kita\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMusim durian kembali lagi tahun ini dengan hasil yang jauh lebih meriah berbanding dengan tahun sebelumnya. Boleh dikatakan merata-rata tempat di seluruh Malaysia akan diadakan kenduri dan pesta durian. Walaupun masih terdapat rungutan bahawa harga buah ini yang semakin mahal, tetapi nampaknya jualan raja buah ini tetap rancak. Pengusaha durian juga boleh menarik nafas lega pada tahun ini kerana mereka mampu memasarkan hasil mereka ke seluruh negara berbanding dengan semasa negara dilanda pandemik. Jika dahulu, buah ini hanya digemari oleh orang Melayu sahaja, namun kini kaum lain turut sama tidak melepaskan peluang untuk menikmati raja buah ini. Musim durian sememangnya musim yang paling dinanti-nantikan oleh seluruh masyarakat Malaysia.\nDurian atau nama saintifiknya durio merupakan buah tropika bermusim yang paling popular dan diminati ramai bukan sahaja di negara kita, malah juga di kebanyakan negara Asia Tenggara. Nama saintifik durio dikatakan berasal daripada perkataan Melayu, iaitu \u201cduri\u201d. Buahnya yang berduri tajam dan mengeluarkan aroma yang cukup kuat apabila sudah masak menjadikannya antara buah yang cukup istimewa. Isinya pula mempunyai rasa yang cukup unik dan tidak boleh ditemukan pada buah-buahan yang lain kerana gabungan lemak, manis dan sedikit pahit yang secukup rasa. Jika di Sabah pula terdapat durian yang isinya berwarna merah atau dikenali sebagai Marahang ataupun Maraang dalam kalangan penduduk di sana. Segala keistimewaan dan keunikan ciri yang ada pada durian ini menyebabkannya digelar \u201cRaja Buah\u201d.\nDurian merupakan antara makanan yang boleh menyatukan dan juga boleh memecahbelahkan hubungan. Walaupun hanya sekadar seloroh semata-mata, namun jika difikirkan kembali, hal tersebut ada benarnya. Ada adik beradik yang bermasam muka kerana masing-masing hanya pulang ke kampung apabila tibanya musim durian tetapi apabila perlu menebas kebun durian, semuanya tidak pulang dan perkara ini juga tertulis dalam lirik lagu nyanyian Mr. Os yang berbunyi \u201cmusim deghoyan banyok sedare mare (ramey-ramey), Bila nebas, seko tak nampak muke (memang gitu)\u201d. Bahkan, pemilik kebun durian juga bergelar orang kaya apabila musimnya tiba sehingga berlagak dengan orang sekeliling sebagaimana bait-bait lirik dalam dua rangkap lagu Durian Dah Berbunga tersebut.\nBukan sahaja antara adik-beradik dan saudara mara, durian juga boleh menjadi punca pergaduhan antara pembeli dengan penjual kerana tidak berpuas hati dengan kualiti isinya. Harga raja buah ini yang boleh tahan mahalnya sering menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan para pembeli. Tambahan pula, ada antara penjual yang mengambil sikap lepas tangan dan mengambil kesempatan ketika berjual beli buah kayangan ini. Durian juga merupakan antara lambang kekayaan orang dahulu terutamanya bagi orang Perak. Semakin luas saiz dusun durian yang dimiliki oleh seseorang, maka semakin tinggilah status kekayaan pemiliknya. Namun begitu, pemilik kebun durian pada masa ini juga masih digelar orang kaya berikutan harganya yang sentiasa meningkat saban tahun. Jika tidak, mana mungkin banyak pihak yang masih berlumba-lumba mahu mengusahakan tanaman buah yang digelar raja buah ini.\nWalaupun durian digemari oleh ramai orang, namun masih terdapat segelintir masyarakat yang tidak meminatinya kerana baunya yang terlalu kuat sehingga boleh menyebabkan sakit kepala terutamanya bagi orang Barat. Sebagai contoh, pada tahun 2020, terdapat kejadian melibatkan 12 orang berbangsa Jerman yang bertugas sebagai pekerja pos dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut apabila pengsan selepas terhidu bau durian. Manakala, seorang penyewa di kedai di Canberra, Australia pula menghubungi anggota bomba kerana dikatakan berlakunya kebocoran gas dalam premis miliknya sedangkan bau tersebut merupakan aroma buah durian. Individu yang tidak menyukai bau durian acap kali menyamakan aroma durian sebagi bau yang tidak sedap seperti bau gas. Bagi orang Malaysia yang terkenal dengan jolokan \u201chantu durian\u201d, bau tersebut berbau wangi dan harum sehingga mereka tidak sabar untuk menikmatinya.\nRaja buah ini boleh dinikmati dengan pelbagai cara. Ada yang suka makan isi segarnya sahaja, ada yang gemar makan durian bersama pulut dan ada juga yang gemar menikmati perisanya dalam pelbagai sajian hidangan lain. Tempoyak merupakan makanan berasaskan durian yang popular dalam kalangan orang kita terutamanya bagi orang Pahang amnya dan daerah Temerloh khasnya. Sehingga kini, Temerloh terkenal dengan keenakan gulai tempoyak ikan patin. Tempoyak dibuat daripada isi buah durian yang diasingkan daripada bijinya dan akan disimpan dalam suhu bilik bagi proses penapaian. Namun begitu, tempoyak tidak dimakan begitu sahaja tetapi dicampurkan dalam masakan seperti gulai tempoyak ikan patin dan pais ikan tempoyak ataupun dibuat sambal tempoyak. Walau bagaimanapun, hal ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana penggemar durian tidak semestinya menggemari hidangan berasaskan tempoyak sedangkan tempoyak asalnya daripada isi durian. Selain hidangan tradisi tersebut, durian juga kerap kali dijadikan sebagai perasa dalam pencuci mulut seperti kek, aiskrim, tart dan sebagainya.\nRaja buah ini juga menjadi industri yang semakin popular dalam kalangan masyarakat semenjak harga pasaran durian terutamanya durian premium melonjak tinggi disebabkan pasarannya telah melebar ke luar negara khususnya negara China. Pertumbuhan dan permintaan eksport durian Malaysia juga membuktikan bahawa durian mampu menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara selain mengangkat sektor pertanian negara. Pasaran eksport terbesar durian negara kita ialah China dan rakyat negara tersebut juga menganggap durian Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia jika dibandingkan dengan negara lain yang turut mengeluarkan durian di rantau Asia Tenggara. Eksport durian ke luar negara melibatkan tiga jenis, iaitu dalam bentuk buah asal, ulas dan pes isi durian mengikut jenis serta kualiti durian.\nDurian juga kini merupakan antara faktor yang mampu menjadi daya tarikan pelancong ke Malaysia selain pelancong domestik. Hal ini demikian kerana pelancong dari negara China contohnya sangat menggemari keenakan raja buah ini. Kejohanan Durian Sedunia Edisi Malaysia 2022 yang berlangsung di Bangi Golf Resort (BGR) pada awal bulan Julai tahun lepas merupakan antara bukti bahawa raja buah mampu merancakkan sektor pelancongan negara apabila tempahan bilik sepanjang acara berlangsung dibanjiri oleh peminat durian dalam jumlah yang ramai. Kejohanan tersebut merupakan acara yang paling menarik dalam Festival dan Anugerah Durian BGR yang diperkenalkan sejak tahun 2018 dalam usaha mempromosikan segmen pelancongan dengan tarikan utama, iaitu buah durian. Bahkan, Tourism Malaysia turut menganjurkan Program Pakej Durian pada tahun ini sebagai satu daripada usaha merancakkan semula aktiviti pelancongan terutamanya pelancongan domestik di negara kita.\nWalaupun Malaysia tidak mengalami empat musim, tetapi negara ini tetap mempunyai keistimewaannya yang tersendiri kerana terdapat musim buah-buahan tempatan seperti musim buah durian. Keterujaan masyarakat apabila tibanya musim durian luruh seakan-akan menikmati musim turunnya salji. Begitulah perumpamaannya. Rakyat Malaysia teruja melihat deretan gerai di tepi jalan yang menjual raja buah ini dan menikmati aroma daripada pelbagai jenis durian. Bukan itu sahaja, musim durian juga menyebabkan beberapa buah lokasi seperti Balik Pulau di Pulau Pinang menjadi tumpuan orang ramai terutamanya para penggemar durian. Musim raja buah ini juga dianggap sebagai musim berhimpunnya sanak saudara yang mempunyai dusun durian selain ketika sambutan perayaan. Harga durian yang lebih murah pada tahun ini membolehkan masyarakat daripada pelbagai golongan turut dapat menikmatinya." "Lari Cukai: Negara Miskin Terus Miskin?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSebelum ini, pernah dibahaskan tentang amalan Teori Kelebihan Berbanding dalam bidang ekonomi sehingga menyebabkan negara kaya itu terus kaya dan negara miskin pula terus miskin. Hal ini demikian kerana negara miskin yang mempunyai kelebihan dalam sektor pertanian berbanding dengan negara kaya yang kelebihannya pada sektor kilang, digesa supaya menumpukan perhatian terhadap sektor pertanian semata-mata.\nSudahlah hasil pertanian itu tidak setinggi yang diperoleh daripada hasil perkilangan, serangan penyakit dan serangga serta malapetaka alam juga menjejaskan produktiviti pengeluaran pertanian berkenaan. Sebagai contoh, produktiviti hasil pertanian akan terus menurun disebabkan menurunnya kualiti tanah yang telah digunakan berulang kali. Hasil pengeluaran perkilangan bukan sahaja tidak berdepan dengan hambatan seperti \u00a0ini, malah melalui faedah ekonomi yang membolehkan pengeluaran dihasilkan dengan kuantiti yang berlipat ganda, manakala dari segi kosnta pula didapati jauh lebih rendah.\nDalam hal ini, tentunya terdapat banyak faktor lain yang menyebabkan negara yang kaya itu terus kaya dan negara miskin\u00a0 pula masih berdepan dengan kemiskinan selain daripada aplikasi doktrin Teori Kelebihan Berbanding itu. Dalam makalah ini, perbincangan tertumpu pada masalah kegiatan firma lari cukai sebagai faktor golongan miskin terus kekal miskin dengan cuba menjawab persoalan, iaitu mengapakah hasil cukai negara tidak meningkat dengan kadar yang sepatutnya sedangkan keluaran negara kasar tetap meningkat? Sebagai permulaannya, wajar dicatatkan dua perkara penting ini. Pertama, dengan adanya kutipan cukai ini, negara dapat mengagihkan hasil berkenaan untuk tujuan kebajikan masyarakat selain daripada pembangunan infrastruktur. Kedua, semua negara bersaing untuk menurunkan kadar cukai korporatnya bagi menarik pelaburan asing ke dalam negaranya. Perkara kedua ini perlu dilakukan walaupun\u00a0 para pembuat dasar tahu bahawa cukai yang rendah menjadikan negara tersebut lebih sukar untuk menyediakan kemudahan awam seperti infrastruktur, pendidikan dan kebajikan masyarakat seperti yang dinyatakan tadi.\nArus globalisasi wajar difahami dengan tidak setakat mendorong persaingan mendapatkan upah buruh yang rendah, tetapi juga persaingan sesama negara untuk menurunkan cukai korporatnya dan situasi ini menambahkan lagi kesukaran pengagihan bantuan kepada golongan kelas bawahan atau kelas miskin. Syarikat gergasi atau transnational corporation (TNC) bersaing sesama mereka di arena antarabangsa bagi melipatgandakan keuntungan dengan bersaing melabur di negara yang sanggup mengurangkan cukai. Hal ini pula mesti dilakukan oleh mereka bagi membolehkan syarikat gergasi itu berdaya saing pada peringkat antarabangsa. Bagi memastikan keuntungan mereka tetap tinggi, ada antara TNC berkenaan lari daripada membayar cukai.\nDalam hal ini, ada sesetengah negara yang langsung tidak mengenakan cukai korporat atau memberikan levi minimum atau kadar cukai yang sangat rendah kepada syarikat gergasi yang melabur di dalam negaranya. Negara berkenaan termasuklah UAE, Luxembourg, Bahamas, Bermuda dan banyak lagi. Oleh sebab TNC bergerak pada peringkat antarabangsa, maka mereka boleh membuka banyak akaun di negara-negara pelaburannya. Hal ini bermakna, jika mereka mahu lari daripada cukai, mereka boleh memindahkan kiraan untung perniagaannya daripada negara yang bercukai tinggi kepada negara yang rendah atau memberikan levi minimum daripada mengenakan cukai yang tinggi ini. Malah ada organisasi tertentu yang memberikan khidmat perundingan kepada TNC tentang cara untuk mengelakkan mereka daripada membayar cukai, misalnya melalui teknik lari cukai dengan mengambil kesempatan daripada perbezaan peraturan perdagangan antara negara atau antara peraturan cukai negara.\nTerdapat laporan yang menyatakan bahawa kes pengelakan cukai ini amat mengejutkan kerana bukan sahaja melibatkan TNC yang terkenal tetapi juga melibatkan tokoh terkenal. TNC boleh lari daripada membayar cukai dengan mengubahsuai catatan sistem perakaunannya secara \u201cmanipulasi kreatif\u201d dengan cara menukar tempat mereka membayar sebahagian besar cukai mereka walaupun sebenarnya mereka tidak mengubah tempat mereka menghasilkan atau menjual barangan dan perkhidmatan.\nSaga Skandal Cukai Antarabangsa ini tidak lagi tertutup. Skandal lari cukai ini bukan lagi rahsia. Lawat sahaja laman web Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa di www.icij.org/project/luxembourg-leaks\u00ad, kita akan dapati aktiviti lari daripada cukai ini begitu berleluasa. Bagi sesiapa yang pernah meneliti laporan lari cukai skandal LuxLeaks 2014 dan Swiss Leaks 2015, serta skandal yang dikaitkan dengan Panama Papers, mereka akan tahu betapa syarikat dan nama-nama terkenal terlibat dengan kegiatan seumpama ini.\nPakar ekonomi mula melihat terdapat pola tertentu dan kategori aktiviti lari cukai ini. Fenomena lari cukai ini disebut dengan istilah seperti syurga cukai (tax havens), harga pindahan (transfer pricing) serta penyongsangan cukai (tax inversions). Sebagai contoh, aktiviti lari cukai jenis syurga cukai ialah kegiatan pengelakan cukai TNC yang berlaku di sesebuah negara apabila terdapat negara yang dikenakan kadar cukai korporat lebih rendah dengan peraturan kewangannya begitu longgar.\nTNC sering cuba untuk memindahkan sebanyak mungkin kiraan cukai daripada keuntungan global mereka ke syurga cukai ini. Hal ini kebiasaannya dilakukan dengan mengira keuntungan mereka secara memindahkan kiraan berkenaan di atas kertas antara pelbagai \u00a0jaringan TNC di beberapa buah negara yang menunjukkan keuntungan berakhir apabila TNC dikatakan tidak terlibat dalam sebarang pengeluaran. Kewujudan anak syarikat atau cawangan syarikat di tempat-tempat syurga cukai ini lebih bertujuan untuk memudahkan transaksi perniagaan dan kegiatan lari cukai berkenaan. Di negara syurga cukai berkenaan, firma berkenaan tidak memiliki banyak pekerja atau menjual banyak barangan. Perkara seperti inilah yang menjadi bidang tujahan Kimberly Clausing (Ahli Ekonomi Amerika Syarikat) dalam memahami fenomena lari cukai berkenaan.\nDalam satu catatan yang lain pula, di Amerika Syarikat, sebagaimana yang dicatatkan oleh Balaam dan Dillman (2019) kira-kira 80 peratus daripada semua syarikat yang didagangkan secara terbuka dan lebih dua pertiga daripada syarikat yang tersenarai dalam Fortune 500 didaftarkan atau diperbadankan di Delaware. Delaware ini merupakan wilayah kecil yang merupakan syurga cukai dan berkompromi dengan cukai yang berkaitan dengan keuntungan firma daripada hak harta intelek seperti tanda dagangan (trade mark), hak cipta (copy rights) dan pajakan (leasing).\nMemang benar telah ada dan banyak usaha dilakukan bagi membanteras kegiatan lari cukai seperti ini. Usaha OECD mendapat sokongan meluas daripada pelbagai pihak apabila pada tahun 2017, hampir 70 negara menandatangani satu konvensyen multilateral ke atas kegiatan pengelakan atau lari cukai yang dinyatakan sebelum ini. Kumpulan masyarakat sivil antarabangsa juga berperanan besar dalam memperjuangkan isu ini, misalnya seperti yang diusahakan oleh The Global Alliance for Tax Justice (GATJ).\u00a0 Kumpulan ini telah \u00a0mendesak dengan kuat supaya semua negara bertindak tegas terhadap kegiatan lari cukai jenis cukai korporat berkenaan. Gerakan seumpama ini amat sedar bahawa kegiatan tidak bermaruah ini amat merugikan negara miskin atau berpendapatan rendah. Mereka mahu supaya peraturan dibuat agar cukai kepada TNC itu mesti dibayar berdasarkan aktiviti ekonomi sebenar TNC melabur dan mesti diukur berdasarkan hasil jualan atau aset \u00a0mereka.\nKebanyakan daripada kita menjangkakan bahawa semua kerajaan akan bertindak tegas terhadap kegiatan lari cukai ini untuk meningkatkan hasil kerajaan. Sebenarnya, ada beberapa jenis kegiatan lari cukai atau lebih tepatnya strategi \u201cpengecilan\u201d cukai itu secara teknikalnya sah dan sesetengah kerajaan di dunia ini khuatir jika tindakan keras ke atas TNC akan menjejaskan pelaburan langsung ke dalam negaranya. Mesej moralnya, kita perlu cakna tentang adanya strategi lari cukai yang cukup licik ini. Hal ini akan dapat membantu negara kita menyediakan langkah berhikmah bagi memastikan peraturan cukai yang dibuat sebelum ini tidak longgar dan pada masa yang sama pelaburan sedia ada dalam negara juga tidak keluar. Perkara ini mudah untuk dilaksanakan, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.\nProfesor Dr. Makmor Tumin, Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan,Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya." "Karyawan DBP Diraikan dalam Majlis Penyampaian AP dan APC 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah diraikan dalam Majlis Penyampian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2022 dan Anugerah Perkhidmatan (AP) yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada hari ini. Majlis penyampaian ini disempurnakan oleh YBhg. Dato\u2019 Indera Nik Nasarudin bin Mohd Zawawi, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).\nDalam majlis ini, sebanyak 150 orang karyawan DBP telah menerima penghargaan atas perkhidmatan cemerlang yang diberikan, iaitu sebanyak 86 orang penerima AP dan 96 orang penerima APC.\nDalam majlis tersebut, YBhg. Dato\u2019 Indera Nik Nasarudin bin Mohd Zawawi, Ketua Setiausaha KPM berkata, \u201cMajlis apresiasi ini dapat dijadikan sebagai simbol penghargaan DBP kepada pegawainya yang telah membuktikan kecemerlangan dan kesetiaan terhadap DBP selain mempunyai disiplin yang baik melalui pelibatan dalam pelbagai kegiatan luar.\u201d\nDalam bekerja, kreativiti adalah penting. Kecemerlangan DBP terletak pada kehebatan warganya. Kreativiti merupakan aset utama yang menyumbang kepada kejayaan sesebuah organisasi. Jadi kita kena ingat, jika runtuhnya nilai dalam organisasi akan menyebabkan pelbagai kepincangan dalam organisasi berlaku, contohnya seperti penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya.\nSelain itu, YBhg. Dato\u2019 Indera Nik Nasarudin juga berharap agar penghargaan ini dapat dijadikan sebagai contoh dan daya penarik kepada pegawai lain untuk bersama-sama meningkatkan taraf perkhidmatan demi mencapai matlamat organisasi dan menggalakkan persaingan yang sihat dalam kalangan pekerja untuk bersama-sama bertekad memajukan diri dan organisasi.\nDalam majlis tersebut juga turut diadakan Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Dewan Bahasa dan Pustaka dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Md. Johari bin Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), DBP; dan YBrs. Encik Ahmad Dasuki bin Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN; dan disaksikan oleh YBhg. Dato\u2019 Indera Nik Nasarudin bin Mohd Zawawi, Ketua Setiausaha, KPM; YBrs. Encik Zainal bin Abas, Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, KPM; YBrs. Tuan Haji Razali bin Che Mat, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP; dan YBrs. Puan Wan Zawiyah binti Wan Abu Bakar, Pengurus Besar Kanan, PTPTN.\nMajlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara DBP dengan PTPTN ini merupakan kerjasama yang diadakan untuk membudayakan penabungan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi seluruh warga DBP melalui pelbagai program promosi produk, program sahabat PTPTN, kolaborasi program tanggungjawab sosial korporat, dan inisiatif lain yang berkemungkinan dapat diusahakan bersama-sama.\nYBrs. Tuan Haji Md. Johari bin Hasan sewaktu menyampaikan ucapan alu-aluannya berkata:\nSebenarnya satu daripada produk PTPTN, iaitu Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime akan menjadi satu daripada bentuk pengiktirafan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang DBP mulai tahun ini selain daripada Sijil Perkhidmatan Cemerlang. Langkah ini diharap dapat memupuk sikap menabung bagi tujuan pendidikan anak-anak, di samping memberikan manfaat lain seperti dividen, pelepasan cukai, perlindungan takaful, geran sepadan percuma, patuh syariah, dan simpanan yang dijamin oleh kerajaan.\n\u00a0\nYBrs. Tuan Haji Md. Johari bin Hasan juga berharap agar pengiktirafan AP dan APC ini dapat dijadikan sebagai contoh serta memberikan pengaruh kepada amalan budaya kerja berprestasi tinggi dan berinovasi dalam kalangan warga DBP.\nAP DBP telah diwujudkan pada tahun 1970 dan merupakan penghargaan DBP kepada staf yang menunjukkan kesetiaan untuk terus memberikan khidmat bakti yang terbaik kepada DBP. Kriteria pemilihan adalah berdasarkan tempoh perkhidmatan yang melayakkan staf yang telah berkhidmat selama 15, 20, 25, 30, 35 dan 37 tahun dan tertakluk pada syarat yang tertentu.\nKesemua 86 orang orang penerima AP tersebut menerima sijil penghargaan dan sijil simpanan premium mengikut tempoh perkhidmatan masing-masing. Perkhidmatan 15 tahun (sijil simpanan premium RM200.00); perkhidmatan 20 tahun (sijil simpanan premium RM350.00); perkhidmatan 25 tahun (sijil simpanan premium RM500.00); perkhidmatan 30 tahun (sijil simpanan premium RM750.00); perkhidmatan 35 tahun (sijil simpanan premium RM1000.00); dan perkhidmatan 37 tahun (sijil simpanan premium RM5000.00).\nSementara itu, APC merupakan penghargaan daripada kerajaan kepada anggota Perkhidmatan Awam yang telah memberikan perkhidmatan yang cemerlang.\u00a0 Anggota yang layak dipertimbangkan untuk diberikan APC ialah anggota dalam semua kumpulan, gred dan kategori yang dilantik untuk berkhidmat secara tetap, sementara atau kontrak. Pemilihan adalah berdasarkan garis panduan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 Tahun 2012 dan juga kriteria tambahan pemilihan penerima APC DBP yang ditetapkan oleh Mesyuarat Panel Pembangunan Sumber Manusia DBP.\nKesemua 64 orang penerima APC 2022 menerima Sijil Perkhidmatan Cemerlang, Hadiah Prestasi sebanyak RM1000.00 dan diberikan peluang dalam pencalonan untuk menerima pingat, bintang dan darjah kebesaran persekutuan dan negeri.\nSebelum mengakhiri ucapan, YBhg. Dato\u2019 Indera Nik Nasarudin bin Mohd Zawawi turut berpesan kepada seluruh warga DBP agar bijak menyeimbangkan antara kehidupan dengan kerjaya kerana perkara ini merupakan titik tolak kepada kesejahteraan mental dan emosi seseorang individu dan seterusnya mampu membantu DBP mengharungi pelbagai cabaran untuk terus kekal relevan." "Tawaran Masuk ke Tingkatan Enam Diumumkan pada 3 Julai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa keputusan tawaran bagi kemasukan ke Tingkatan Enam tahun 2023 diumumkan pada 3 Julai 2023 kelak.\nMenurut KPM, murid lepasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 boleh membuat semakan keputusan tawaran dan pendaftaran melalui dua kaedah, iaitu secara dalam talian\u00a0atau sekolah masing-masing.\nMurid yang ditawarkan ke Tingkatan Enam perlu melapor diri pada 16 Julai 2023 bagi sekolah-sekolah dalam negeri kumpulan A dan 17 Julai 2023 bagi sekolah-sekolah dalam negeri kumpulan B di Kolej atau Pusat Tingkatan Enam yang dinyatakan dalam surat tawaran.\nBagi ambilan rayuan, tarikh lapor diri adalah pada 25 Julai 2023.\nNamun begitu, bagi murid yang tidak menerima tawaran, KPM mengatakan bahawa permohonan rayuan boleh dilakukan secara dalam talian mulai 3 hingga 17 Julai 2023. Bagi murid yang tidak mempunyai capaian Internet pula, rayuan boleh dilakukan melalui sekolah masing-masing\nKeputusan permohonan rayuan kemasukan ke Tingkatan Enam Semester 1 Tahun 2023 akan dimaklumkan pada 24 Julai 2023 melalui portal yang sama.\nBagi murid yang tidak mempunyai capaian internet, keputusan permohonan rayuan akan dimaklumkan oleh pihak sekolah pada tarikh yang sama.\nKPM sentiasa berusaha untuk menawarkan peluang pendidikan terbaik untuk anak-anak selaras dengan hasrat membangunkan Malaysia MADANI." "Salah Siapa Remaja Memberontak?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nSaya sendiri tidak memahami akan perangai anak saya. Pertanyaan saya tidak dijawab, kalau dijawab sekalipun sekadar jawapan \u2018ya\u2019 atau \u2018tak\u2019 dan dalam keadaan yang lain, jawapannya pasti menjengkelkan. Apabila saya menasihatinya untuk berhati-hati apabila keluar bersama-sama rakannya, hal itu pasti mewujudkan keadaan tegang antara saya dengannya seolah-olah saya sebagai ibunya tidak layak untuk menasihatinya.\n\u00a0\nPanggilan telefon saya tidak dijawab, sebagai ibu sudah pasti saya ingin mengetahui apa-apa yang anak saya lakukan, makan atau minumnya dan di mana beliau berada, namun berkali-kali saya hubungi untuk bertanya akan hal itu, namun panggilan saya tidak berjawab meskipun beliau sedang aktif di aplikasi WhatsApp.\n\u00a0\nAnak-anak lebih gemar menyendiri. Berkurung di dalam bilik dan tidak mengendahkan apa-apa yang berlaku di sekelilingnya. Mereka hanya akan keluar dari bilik untuk makan atau minum. Apabila ada keperluan mereka yang perlu dipenuhi, mereka akan cuba mewujudkan suasana mesra dan selepas tuntutan itu dipenuhi, mereka tidak lagi peduli akan perkara yang lain.\n\u00a0\nTiga rungutan yang dirakamkan daripada tiga orang ibu dan bapa remaja berusia 15 tahun hingga 18 tahun itu membuktikan wujudnya kekeliruan yang membawa kekecewaan terhadap anak mereka. Malah ada dalam kalangan ibu bapa yang menyalahkan diri sendiri seakan-akan mereka gagal mendidik anak lebih-lebih lagi ada dalam kalangan ibu bapa ini yang bekerja.\u00a0Mereka juga menyatakan rasa kekecewaan mereka apabila ada anak dalam kalangan rakan mereka yang memiliki sikap yang berlawanan daripada sikap yang ditonjolkan oleh anak mereka.\n\u201cAnak rakan sekerja saya amat menghormati ibu bapanya. Sopan ketika berbicara dan tidak pernah mengendahkan kata-kata ibu dan ayah mereka. Hal ini menjadikan saya tertanya-tanya, di manakah silap saya dalam mendidik anak sendiri?\u201d Luah Puan Lyiana Aziz, 53 tahun, berasal dari Kuala Lumpur.\nMenurut kajian Science ABC, pada hakikatnya remaja cenderung untuk menunjukkan tingkah laku memberontak kerana gabungan beberapa faktor, iaitu hormon, perkembangan tingkah laku, masyarakat, alam sekitar dan juga teknologi. Faktor ini membawa kepada tingkah laku yang mencabar kuasa, menunjukkan kebebasan, menggalakkan hujah dan mencari perhatian. Maka itu, Science ABC merumuskan perubahan tingkah laku ini sebagai memberontak!\nPersoalannya, apakah faktor yang mencetuskan pemberontakan dalam diri remaja?\nMeskipun meramal tindakan dan niat remaja merupakan perbuatan yang sukar dilakukan, tetapi masih wujud beberapa perkaitan dalam perubahan tingkah laku golongan muda ini. Walaupun pengalaman setiap individu adalah berbeza, namun banyak pakar psikologi mengenal pasti perubahan tersebut dengan mengaitkannya dengan beberapa faktor utama, antaranya termasuklah perkembangan neurologi, perubahan hormon, peranan pihak berautoriti, pengaruh media sosial dan mencari penerimaan serta perhatian.\nSetiap manusia akan melalui perkembangan neurologi pada usia 13 tahun hingga 19 tahun. Paling ketara, pada usia ini, korteks prefrontal otak sedang berkembang yang banyak berkait rapat dengan pembangunan personaliti, perancangan, penaakulan logik dan struktur pertuturan. Penaakulan logik dan kapasiti ini akan mendorong penaakulan dan pertuturan yang kompleks, iaitu sama dengan keupayaan untuk berhujah dengan lebih berkesan. Korteks prefrontal bukan satu-satunya bahagian otak yang berkembang dalam tempoh yang mencabar itu, tetapi brainstem, occipital lobe, parietal lobe dan serebelum juga akan sangat berbeza pada usia 10 tahun berbanding dengan mereka yang berusia 20 tahun. Keadaan ini akan mempengaruhi segala-galanya, iaitu daripada pemprosesan bahasa dan pembentukan pertuturan kepada kapasiti ingatan \u2013 \u00a0semuanya memupuk perkembangan dalam diri seseorang remaja.\nPerubahan hormon juga menjadi faktor utama remaja memberontak. Banyak orang menyebut perubahan hormon sebagai akil baligh. Hal ini bermakna dari segi fisiologi remaja mengalami perkembangan besar hormon baharu, iaitu hipotalamus. Dalam hal ini, kanak-kanak perempuan mengalami peningkatan estrogen, manakala kanak-kanak lelaki melalui peningkatan testosteron. Kanak-kanak perempuan akan mula datang haid, berlaku perubahan saiz pada payudara, perubahan bulu badan dan bau badan. Kanak-kanak lelaki pula akan melalui perubahan pada alat sulit, bulu pada kemaluan, suara dan bulu pada bahagian tertentu di wajah mereka.\u00a0Pada ketika ini, bentuk badan mereka akan berubah dengan pantas dan otak mereka pada dasarnya akan bertindak balas terhadap bahan kimia baharu dalam masa yang nyata. Emosi yang meningkat dan tahap keagresifan dan spontan yang lebih tinggi akan turut berlaku.\nSeorang kanak-kanak mempunyai autonomi yang sangat kurang memandangkan kebanyakan kanak-kanak sangat bergantung pada ibu bapa atau penjaga sebelum usia remaja mereka. Makanan yang mereka makan, tempat yang mereka pergi, mainan yang mereka mainkan dan hiburan yang mereka terima pada dasarnya dipilih oleh orang lain. Pada zaman remaja, apabila keupayaan mereka untuk membuat pilihan sendiri berkembang, remaja ingin mencipta identiti mereka sendiri. Daripada bergantung pada bimbingan dan kawalan ibu bapa mereka, remaja lebih bereksperimen dan ingin mencuba perkara baharu untuk menentukan perkara yang difikirkan lebih sesuai dengan personaliti mereka yang sedang berkembang.\nDalam sesetengah kes, remaja akan beralih kepada sikap yang keterlaluan, iaitu yang bertentangan dengan semua yang mereka ketahui atau lalui\u00a0\u00a0sebelum ini, antaranya termasuklah pemberontakan secara terang-terangan. Pada ketika ini, ibu bapa akan berasa jengkel dengan perubahan tersebut kerana mereka dilihat seolah-olah seperti \u201cterlepas daripada landasan\u201c atau tidak menghormati \u201cnilai kekeluargaan\u201c.\nApabila remaja meningkatkan keupayaan mereka untuk menaakul, berhujah dan bertanya \u201cmengapa?\u201c, konflik akan mula meletus. Mereka juga berasa kurang takut terhadap pematuhan disiplin di rumah kerana remaja mula mengenali bahawa ibu bapa mereka sebagai manusia biasa yang juga tidak memiliki kesempurnaan.\nPada tahap ini, remaja mula bertindak menentang ibu bapa, guru atau pihak berkuasa seperti polis. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja dikatakan menolak had (peraturan) yang sentiasa ada. Kebencian terhadap kawalan boleh berkembang pada tahap ini yang pada akhirnya mendorong remaja untuk melanggar peraturan dan bereksperimen dengan perkara yang sebelum ini dilarang.\nRemaja pada hari ini mempunyai juga faktor baharu yang besar dalam tingkah laku dan personaliti mereka, iaitu Internet, dan lebih khusus lagi, media sosial. Platform ini telah menjadi begitu meluas dalam kehidupan mereka sehingga kita sendiri hampir tidak menyedari akan ketagihan kolektif yang berlaku, tetapi yang pasti pengaruhnya tidak dapat dinafikan. Remaja secara tradisinya arif dalam hal kemajuan sains dan teknologi baharu, khususnya media sosial.\nDalam hal ini, kehidupan dan pemikiran kita kini boleh dikongsikan dengan ratusan, ribuan atau jutaan orang dengan satu klik. Terdapat juga berbilion laman web yang mengandungi pengetahuan kolektif, pengeluaran dan tingkah laku manusia. Pendedahan terhadap maklumat di Internet ini mendedahkan lagi remaja terhadap banyak perkara antaranya termasuklah penerokaan seksual dan definisi identiti. Dalam hal ini, media sosial menjadi sempadan baharu bagi ekspresi dan pemberontakan remaja. Inilah cabaran baharu untuk ibu bapa pada masa kini dan akan datang.\nSebahagian besar obsesi remaja di media sosial adalah keinginan untuk diterima oleh banyak orang. Maka itu, tanda suka dan kongsi menjadi sesuatu yang penting untuk remaja. Selain itu, remaja sememangnya mendambakan perhatian khususnya yang berkait dengan keperibadian dan pencapaian mereka dan mengiktiraf mereka sebagai individu yang sempurna. Walau bagaimanapun, bagi remaja yang mempunyai adik-beradik, mereka akan berusaha mendapatkan perhatian daripada rakan sebaya mereka atau sumber luar yang lain. Tingkah laku mencari perhatian ini mungkin akan diterima secara positif atau ditolak dengan pelbagai alasan yang pastinya akan memberikan kesan kepada emosi remaja.\nMaka itu, apakah ada sinar penyelesaian terhadap pemberontakan remaja ini?\u00a0\nSebagai ibu bapa, anda mungkin tidak mampu memahami tingkah laku dan tindakan pelik anak anda ketika usia remaja. Remaja juga tidak semestinya memahaminya! Hal ini dikatakan demikian kerana remaja tidak mempunyai kesedaran tentang cara mereka bertindak atau tentang impak daripada tindakan mereka. Sebagai contoh, mereka menganggap bahawa menghabiskan masa di media sosial sebagai tindakan yang normal dan bukan sesuatu yang membimbangkan ibu bapa atau penjaga mereka.\nDalam hal ini, terdapat terlalu banyak pemboleh ubah untuk dipertimbangkan dalam kehidupan dan minda seorang remaja. Hal ini bukan untuk mengatakan bahawa mereka harus diberi ruang untuk tingkah laku yang kurang disenangi, tetapi ibu bapa harus mempertimbangkan bahawa\u00a0\u00a0fasa remaja merupakan tempoh yang amat mengelirukan golongan tersebut. Antara cara terbaik untuk ibu bapa mengurus pemberontakan remaja termasuklah\u00a0\u00a0bertenang dan mengekalkan kawalan terhadap anak mereka, serta berusaha menghormati keperluan mereka. Cubalah fahami isu mereka, tetapkan peraturan yang sesuai untuk umur dan personaliti mereka, dan wujudkan gaya keibubapaan yang sesuai dengan tindakan anak anda.\nDalam banyak keadaan, formula yang berkesan terhadap seorang remaja tidak semestinya berkesan terhadap remaja yang lain. Memahami inti pati keperibadian yang berbeza ini amat penting apabila berhadapan dengan remaja yang memberontak. Memberikan tumpuan kepada tingkah laku yang baik dan berusaha untuk mengekalkan corak komunikasi yang sihat adalah pendekatan asas yang boleh diambil oleh ibu bapa. Dalam kes pemberontakan yang serius, iaitu situasi yang membahayakan diri mereka atau orang lain, kaunseling untuk ibu bapa dan remaja boleh membantu mereka untuk membetulkan haluan kepada tingkah laku yang sihat.\nHakikatnya, menjadi ibu bapa kepada remaja bukanlah tugas yang mudah, tetapi begitu juga dengan menjadi seorang remaja! Setiap keluarga dan remaja adalah berbeza, tetapi memahami beberapa punca pemberontakan remaja adalah penting untuk dilakukan. Sebagai ibu bapa, cubalah melihat sesuatu dari perspektif remaja, hal ini sedikit banyak mampu membantu anda memahami segala proses yang berlaku. Masa remaja pasti akan berakhir \u2013 setiap remaja akan bertukar menjadi dewasa \u2013 sama ada remaja beralih kepada tingkah laku yang lebih baik atau lebih teruk, semuanya akan ditentukan setelah mereka berada di garisan penamat fasa tersebut dan beralih ke zaman dewasa." "Kajian Linguistik Klinikal Bantu Kanak-kanak Berbahasa dengan Baik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Wacana Penyelidikan Bahasa Siri Kelima yang bertajuk \u201cPengkajian Bidang Linguistik dalam Linguistik Klinikal\u201d telah berlangsung selama sejam menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial \u00a0DBP pada pagi tadi.\nProgram bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan ini menampilkan tetamu undangan dari Universiti Sains Malaysia, Dr. Norsofiah Abu Bakar yang juga Pengerusi Rancangan Linguistik Bahagian Bahasa Melayu, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan.\nBeliau yang turut ditemani oleh moderator, Dr. Junaini Kasdan berkongsi tentang penyelidikannya dalam bidang linguistik klinikal. Kajian linguistik klinikal berkaitan dengan bahasa yang tidak normal atau atipikal dalam kalangan kanak-kanak atau orang dewasa yang meliputi kajian pragmatik klinikal, sosiolinguistik klinikal, fonologi, morfologi dan sintaksis.\nPenyelidikan beliau dilakukan dengan menggabungkan bidang linguistik dengan patologi bahasa. Katanya,\nSaya akan dilatih cara berhadapan dengan kanak-kanak terutama yang\u00a0 mengalami masalah kecelaruan bahasa. Data akan diambil berdasarkan ujian yang disemak oleh ahli terapi pertuturan bahasa supaya bersesuaian dengan minat kanak-kanak tersebut.\nKajian Dr. Norsofiah dilakukan terhadap kanak-kanak yang berumur antara enam hingga sembilan tahun untuk melihat keupayaan mereka berbahasa Melayu. Menurutnya, kajian tentang kecelaruan bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak di negara ini, baik kanak-kanak normal mahupun yang normal masih rendah. Hal ini berbeza daripada kajian psikolinguistik yang cakupan datanya lebih meluas. Oleh itu,hal ini menyebabkan pengkaji linguistik klinikal mengalami kesukaran untuk mendapatkan panduan mengenai kanak-kanak yang mengalami kecelaruan bahasa perkembangan (DLD).\nBeliau turut membandingkan psikolinguistik yang menggunakan teori untuk menerangkan proses sesuatu maklumat tetapi linguistik klinikal tidak menggunakan teori, malah mengambil data kanak-kanak yang berkecelaruan bahasa perkembangan, iaitu asbab perlakuan bahasa kanak-kanak tersebut menerusi kaedah kuantitatif yang lebih deskriptif.\nBeliau juga menegaskan bahawa kanak-kanak DLD mempunyai pendengaran dan kognitif yang baik dan tidak mempunyai masalah artikulasi. Namun demikian, mereka masih mendapat markah yang rendah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kerana ketidakfahaman mereka dalam pemahaman dan penulisan.\nDalam kajian tersebut, beliau menggunakan kaedah pemahaman dan penghasilan melalui tiga aspek dalam ujian yang diajukan kepada kanak-kanak DLD dan tipikal, iaitu ayat tanya, ayat pasif dan ayat relatif. Dari sudut ayat pasif, kanak-kanak DLD tidak dapat memahami penggunaan morfem awalan \u201cdi\u201d dengan memberikan jawapan yang sebaliknya. Begitu juga dalam ayat tanya, mereka menghadapi kekeliruan dalam penggunaan partikel \u201ckah\u201d . Mereka akan menghasilkan ayat aktif\u00a0 yang sama seperti ayat pasif. Beliau juga berpendapat bahawa antara faktor kanak-kanak DLD tidak dapat mengenal ayat pasif kerana ayat pasif ialah variasi bahasa yang tinggi.\nBerdasarkan kajian tersebut, beliau berharap agar sukatan pelajaran Bahasa Melayu dapat mengambil kira keupayaan berbahasa kanak-kanak. Hal ini dikatakan demikian kerana bidang linguistik klinikal sangat penting\u00a0 untuk membantu perkembangan bahasa kanak-kanak tipikal apabila dikaitkan dengan kecelaruan bahasa kanak-kanak." "Mengoptimumkan Peranan Masjid sebagai Pusat Pendidikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKita baru sahaja menempuhi fenomena pandemik yang telah meragut jutaan nyawa. Ancaman global ini bukan sahaja memberikan implikasi negatif terhadap kesihatan, malah turut meragut kebebasan sosial. Dalam kebebasan yang disekat demi nyawa, berlaku perubahan penting termasuklah dalam soal pendidikan. Corak pembelajaran dan pengajaran secara fizikal telah diganti dengan corak pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian.\nWalaupun kini kita telah kembali kepada keadaan yang normal, namun kita sama sekali tidak dapat menjamin bahawa suasana ini akan berlangsung dalam tempoh yang panjang kerana banyak perkara yang memungkinkan kita kembali dalam keadaan tersebut berdasarkan variasi ancaman terkini seperti krisis ekonomi, krisis sekuriti makanan serta ancaman penyakit baharu seperti demam lembah dan jangkitan fungus \u201cdisease x\u201d yang dianggap mungkin akan menjadi pandemik baharu. Oleh itu, kita sebenarnya perlu belajar daripada pengalaman dan sejarah yang dialami dan bersedia mengorak langkah dalam menghadapi masa depan yang tidak pasti ini.\nPengenalan konsep Madani oleh Perdana Menteri Malaysia Kesepuluh, Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim sejak 19 Januari 2023 merupakan kerangka dasar yang baik dalam memartabatkan semula nama baik negara. Kerangka dasar ini seiring dengan tujuh teras utama pendidikan negara. Dalam usaha membangunkan masyarakat Madani, iaitu masyarakat yang serba maju dan mempunyai tahap tatasusila yang tinggi, pendidikan merupakan platform utama dalam merealisasikan aspirasi nasional ini. Pada hakikatnya, kesinambungan tujuan pendidikan dan masyarakat Madani terhubung dan bersinergi antara satu sama lain dalam melahirkan warganegara yang sempurna.\nSepanjang tempoh pandemik, pengenalan terhadap pendidikan digital melibatkan integrasi pendidikan yang menggabungkan aplikasi komputer dan video sebagai sumber pengajaran merupakan inisiatif yang sangat baik. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa masalah seperti jaringan Internet yang lemah, kekurangan atau ketiadaan peranti elektronik dan suasana pembelajaran yang tidak kondusif. Keadaan ini secara lazimnya berlaku di kawasan pendalaman yang jauh dari akses kemajuan.\nSehingga 31 Disember 2020, terdapat sebanyak 10 255 buah sekolah di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, terdapat sebanyak 4327 buah sekolah di kawasan luar bandar. Bagi sekolah di kawasan luar bandar, sebanyak 645 buah sekolah terletak di kawasan pedalaman yang terdiri daripada 215 buah sekolah di kawasan pedalaman satu, 146 buah sekolah di kawasan pedalaman dua dan 284 buah sekolah di kawasan pedalaman tiga. Jumlah yang besar ini merupakan cabaran yang perlu dihadapi secara bersama bagi memastikan akses pendidikan dapat merentasi batasan kawasan luar bandar khususnya di pedalaman.\nSebagai sebuah institusi agung dalam kehidupan sosial masyarakat Melayu-Islam, masjid dapat memainkan fungsi utama dalam menangani masalah pendidikan setempat sekiranya berlaku sebarang ancaman global yang dapat meragut kebebasan sosial. Statistik menunjukkan bahawa masjid di negara kita merupakan antara institusi terbanyak dan pesat dibangunkan dari tahun ke tahun. Lebih 6514 buah masjid telah dibina di seluruh negara dan negeri Sabah dicatatkan sebagai negeri paling banyak masjid di Malaysia. 19 daripada jumlah masjid di seluruh negara merupakan masjid bertaraf negeri manakala selebihnya ialah 76 masjid kerajaan, 168 masjid berstatus daerah dan 6251 masjid kariah. Situasi ini menggambarkan bahawa masjid merupakan satu daripada alternatif yang dapat menyediakan akses pendidikan bagi para pelajar kerana mudah diakses meskipun di kawasan pendalaman.\nDari segi sejarahnya, masjid pada zaman Nabi Muhammad SAW pernah berfungsi sebagai pusat pendidikan agama dan pembinaan akhlak para sahabat. Di Masjid Nabawi contohnya, terdapat satu ruangan khusus di belakang yang dikenali sebagai suffah dikhaskan bagi para sahabat mempelajari tentang Islam yang kemudiannya telah ditambah baik pada zaman Khalifah Umar al-Khattab apabila beliau mendirikan kuttab yang merujuk pada sebuah tempat pembelajaran bagi kanak-kanak dan golongan dewasa. Ruangan ini dibina terpisah daripada ruangan solat dan terdapat guru-guru lantikan kerajaan yang bertanggungjawab mengajar golongan sasaran tersebut.\nPada zaman keemasan Islam pula, masjid dengan fungsi pendidikan turut dibina dan dikenali sebagai Masjid Khan. Masjid ini bukan sahaja menyediakan pendidikan, malah turut dilengkapi dengan pelbagai fasilitet bagi kemudahan para pelajar. Antaranya termasuklah kelas dan kemudahan perpustakaan yang dikelilingi dengan kedai-kedai untuk memudahkan urusan para pelajar. Yang menariknya, masjid ini juga menyediakan pusat penginapan khususnya bagi pelajar yang kurang berkemampuan dan datang dari daerah yang jauh. Hal ini menunjukkan bahawa dalam sejarah Islam, masjid sebenarnya telah berfungsi sebagai pusat pendidikan tanpa menafikan fungsi utamanya sebagai pusat ibadat masyarakat.\nDalam menempuhi realiti semasa, masjid dengan fungsi tambahan sebagai pusat pendidikan wajar dipertimbangkan khususnya di kawasan pedalaman kerana kebanyakan pelajar di kawasan tersebut terpaksa keluar jauh dari kawasan rumah atau terpaksa memanjat pokok dan sebagainya hanya untuk mendapatkan akses pendidikan. Oleh itu, pihak pengurusan masjid boleh menyediakan beberapa fasilitet seperti kemudahan wifi dan tempat penginapan yang kondusif dengan tatacara pengendalian piawai bagi para pelajar yang memerlukan akses pendidikan. Seandainya masjid dengan model ini didirikan, maka kita akan kurang khuatir dengan gejolak gelombang pandemik baharu kerana pendidikan para pelajar sedikit terjamin.\nMengimbas kembali pengalaman dan sejarah negara menempuhi gelombang COVID-19, suasana pendidikan di negara ini kurang stabil pada peringkat awal lantaran fenomena baharu dan kurangnya pengalaman kita dalam menempuhi sesuatu yang sebenarnya dianggap sementara. Namun begitu, kini kita sudah belajar daripada sejarah dan wajar\u00a0 untuk kita bersedia dari segenap aspek. Sebagai sebuah institusi yang mudah diakses komuniti, masjid seharusnya mampu mendepani cabaran semasa dan pascapandemik dengan menyediakan kemudahan untuk membantu dalam mengatasi isu keciciran pendidikan yang berbangkit. Secara tidak langsung hal ini mampu mengimarahkan masjid dan mengembalikan satu daripada fungsi masjid ketika zaman awal Islam, iaitu sebagai sebuah institusi pendidikan bagi komuniti setempat.\nAnnuar Ramadhon Kasa, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam,Universiti Malaya." "Ibadah Korban 2023: JPV Perlis Mengeluarkan 1075 Permit Penyembelihan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013\u00a0 Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perlis (JPV Perlis) mengeluarkan sebanyak 1075 permit penyembelihan bagi musim korban tahun 2023.\nDaripada jumlah itu, 791 Permit Sembelih Luar (PSL) dikeluarkan bagi penyembelihan lembu dan kerbau, manakala 284 PSL dikeluarkan untuk penyembelihan kambing yang dimohon untuk dilaksanakan di luar rumah penyembelihan seperti masjid, surau atau mana-mana lokasi yang menjalankan ibadah tersebut.\nSelain itu, terdapat juga penyembelihan yang dilaksanakan di Rumah Sembelih Jabatan di Jejawi serta Rumah Sembelih Swasta yang ditauliahkan.\nDemikian seperti yang dipersembahkan dan dimaklumkan ke hadapan Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail oleh Timbalan Pengarah JPV Perlis, YBrs. Dr. Madihah Mohd Zin pada petang semalam.\nTuanku Pemangku Raja Perlis berkenan berangkat ke Kompleks Veterinar Negeri Perlis di Kangar bagi menerima sembah taklimat berkaitan dengan perkembangan pengurusan ibadah korban di Perlis bersempena dengan Zulhijah bagi tahun 1444 Hijrah pada kali ini.\nMenurut YBrs. Dr. Madihah, pihak JPV Perlis akan melaksanakan pemantauan secara\u00a0 berkala terhadap aktiviti penyembelihan yang dilaksanakan di lokasi yang dibenarkan.\n\u201cTujuan pemantauan berkenaan adalah sebagai langkah bagi memastikan aktiviti penyembelihan korban dijalankan dengan lebih teratur dan bersih bagi mengelakkan penyakit bawaan daging sembelihan korban yang boleh mengancam keselamatan makanan serta kesihatan awam selain mengambil kira kebajikan haiwan semasa ibadah korban dilaksanakan,\u201c tambah beliau.\nTerdahulu DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merupakan Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan berangkat bagi menyantuni empat buah rumah asnaf termasuklah seorang mangsa kejadian ribut yang berlaku pada petang kelmarin.\nBaginda turut berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis bernilai RM1500 yang disampaikan oleh Pengarahnya, Yang Mulia Ku Chik Ku Mat Esa.\nSelain itu, baginda turut menyampaikan sumbangan MAIPs bernilai RM700 setiap seorang kepada semua penerima beserta dengan barangan keperluan harian \u201cKit MAIPs Peduli\u201c dan beras fidyah." "Ucapan Aidiladha buat Rakyat Jelata\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama-sama anakanda-anakanda, Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha 1444H\u2019 dan \u201cTaqabbalallahu minna wa minkum\u201d kepada rakyat jelata khususnya di negeri Perlis.\nBaginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhan, ri\u2019ayah dan pemeliharaan ke hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.\n\u201cAlhamdulillah dan syukur ke hadrat Allah Azza Wajalla, tahap kesihatan baginda Tuanku Raja Perlis amat baik dan dalam afiyah,\u201d demikian titah baginda. Tuanku Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah ibni Almarhum Tengku Abdul Rashid turut bersyukur dan menzahirkan terima kasih atas segala doa dan ucapan seluruh rakyat jelata.\nSelain itu, Tuanku Pemangku Raja turut mengingatkan kepada seluruh rakyat agar menggunakan kesempatan Aidiladha ini untuk bermuhasabah diri, memperbanyakkan amalan soleh, serta menghiasinya dengan takbir, tahmid dan tahlil sebagai perlambangan kesyukuran atas limpah kurnia dan rahmat Allah Azza Wajalla. \u201cSemoga segala ibadah korban yang dilaksanakan, akan diterima sebagai amalan soleh di sisi Allah Azza Wajalla,\u201d demikian kata baginda.\nSelesai menunaikan solat sunat Aidiladha semalam, baginda berdua dan anakanda-anakanda turut berkenan berangkat menyaksikan ibadah penyembelihan korban di kandang Wan Farizal Wan Din di Kampung Paya, Kangar.\nBaginda juga tidak melepaskan peluang untuk melapah daging korban bersama-sama penduduk Kampung Paya Tengah, Paya Batas Tinggi dan Padang Pauh. Jemaah melapah ini melibatkan lebih kurang 40 orang dan proses agihan daging korban juga berjalan dengan lancar.\nSebagai rekod, sebanyak 1075 permit menyembelih dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perlis bersempena dengan Aidiladha pada tahun ini." "Kemenangan Tipis Erdogan dan Pengajarannya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada 28 Mei 2023, Presiden Recep Tayyip Erdogan telah dilantik semula oleh rakyat Turki sebagai Presiden negara tersebut untuk tempoh lima tahun lagi. Beliau telah berjaya mengalahkan Kemal Kilicdaroglu, pencabar beliau yang berhaluan sekular.\nGolongan yang cenderung kepada Islam, sama ada di dalam atau di luar Turki termasuklah Malaysia menyambut kemenangan Erdogan dengan rasa gembira kerana pendekatan beliau yang cenderung terhadap nilai-nilai Islam. Di samping itu, beliau juga lebih terbuka menerima kehadiran pelarian beragama Islam yang tertindas, termasuk dari Palestin, Mesir, China (Uighur) dan Syria. Sebagai contoh, Turki adalah satu-satunya negara yang membenarkan kehadiran pemimpin Hamas yang diburu oleh rejim aparteid Israel. \u00a0Hal ini berbeza dengan sikap pencabar beliau yang mahu mengusir mereka \u00a0keluar dari Turki.\nNamun begitu, perkara\u00a0 yang tidak dapat dinafikan ialah sokongan terhadap Erdogan kini semakin merosot berbanding dengan sebelum ini. Dalam pilihan raya umum pada tahun 2018, Erdogan terus layak menjadi Presiden kerana memenangi lebih dari 50 peratus dari undi. Beliau mendapat 52 peratus daripada jumlah undi berbanding dengan pencabar terdekat yang hanya mendapat 30 peratus. Dalam pilihan raya baru-baru ini, Erdogan hanya memenangi 49 peratus dari undian pada pusingan pertama, sementara pencabar terdekat mendapat 43 peratus. Hanya di pusingan kedua, Erdogan berjaya mendapat 52.14 peratus undian berbanding dengan pencabarnya yang mendapat 47.8 peratus. Untuk rekod, pada tahun 2002 Erdogan telah memenangi pilihan raya kecil bandar Siirt dengan mendapat 84.7 peratus daripada jumlah undi.\nPersoalannya kini, mengapakah sokongan kepada Erdogan merosot selepas lebih dari 20 tahun beliau memimpin Turki? Antara faktor utama yang menyumbang kepada perkembangan ini ialah keadaan ekonomi negara tersebut yang sangat teruk pada masa ini berbanding dengan keadaan semasa beliau mula-mula memerintah.\nSelama hampir satu abad sebelum Erdogan dan AKP berkuasa, Turki diperintah oleh pemimpin yang berpendirian sekular. Mereka dipengaruhi oleh pemikiran Kamal Ataturk dan digelar sebagai `Kemalist\u2019. Namun di bawah pemerintahan mereka, terutamanya pada akhir kurun ke 20, bukan sahaja institusi demokrasi merana, bahkan keadaan ekonomi juga semakin hari semakin merosot akibat daripada gabungan beberapa faktor termasuklah rasuah, pembaziran, masalah tadbir urus dan ketidaktelusan,serta campur tangan kerajaan yang berlebihan. Akhirnya ekonomi Turki telah mengalami krisis pada tahun 2001.\nRakyat Turki telah menzahirkan kemarahan terhadap pemimpin-pemimpin Kemalist dengan menyokong dan melantik Erdogan yang dilihat bersih daripada amalan rasuah serta mempunyai latar belakang Islam. Bahkan ramai yang melihat Erdogan sebagai pemimpin Islam yang mampu mengembalikan era kegemilangan Islam sebagaimana pemimpin Islam Turki padai zaman Khilafah Othmaniah yang berjaya membina sebuah empayar Islam dan mampu mencabar kuasa Eropah.\nPada awal pentadbiran Erdogan, ekonomi Turki telah berkembang pesat. Pelaburan asing mengalir masuk dan ekonomi Turki berkembang dengan purata kadar tujuh peratus dari tahun 2002 hingga 2008. Keadaan ini membuatkan banyak pihak yang berasakan ini merupakan bukti bahawa pemerintahan di bawah pemimpin yang berjiwa Islam akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT. Namun begitu, kebanyakannya \u00a0gagal memahami bahawa walaupun Erdogan berjiwa Islam tetapi sistem ekonomi yang diamalkan oleh Turki masih kekal bertentangan dengan ajaran Islam terutamanya daripada aspek sistem kewangan kerana masih berpaksikan amalan riba dan industri hutang yang merupakan dosa besar yang dikutuk dengan keras oleh Allah SWT dalam al-Quran.\nBagi golongan yang memahami implikasi sistem ekonomi yang berpaksikan industri hutang, mereka sangat sedar bahawa perkembangan ekonomi yang dialami oleh Turki pada masa itu adalah bersifat sementara sahaja. Lambat laun masalah inflasi akan berlaku kerana industri perbankan yang memberikan hutang kepada peminjam akan mencipta mata wang dalam jumlah yang banyak. Kombinasi hutang yang banyak serta jumlah mata wang yang banyak akan menghasilkan masalah kos sara hidup. Jumlah hutang yang terlampau tinggi juga akan membuat ekonomi negara terdedah kepada krisis jika berlaku kejutan dalam ekonomi \u00a0walaupun kejutan tersebut pada asalnya berlaku di luar negara.\nItulah yang berlaku pada tahun 2007 apabila Amerika Syarikat mengalami krisis ekonomi dan kewangan yang turut menjejaskan ekonomi dunia. Akibatnya eksport Turki jatuh mendadak. Ekonomi Turki hanya dapat dipulihkan dengan cepat melalui pergantungan kepada pengaliran masuk dana dari luar, iaitu apabila banyak pelabur dari negara Eropah dan Amerika meminjam dana dari institusi kewangan mereka (kerana keadaan kadar bunga yang rendah di sana) dan melabur dalam ekonomi Turki.\nDalam usaha untuk memastikan kadar pertumbuhan ekonomi tetap tinggi, Erdogan telah menggalakkan bank pusat melaksanakan polisi dasar kadar bunga yang rendah serta melonggarkan undang-undang untuk menyenangkan syarikat Turki meminjam dana dari institusi kewangan luar negara. Malangnya, tindakan ini bukan sahaja telah mendedahkan lagi ekonomi Turki kepada risiko apabila dana mengalir keluar, bahkan juga telah menyebabkan keadaan inflasi di Turki menjadi lebih serius.\nSuasana inflasi yang semakin serius mengakibatkan pengkritik Erdogan semakin berani bersuara dengan lantang. Untuk mengatasi cabaran yang dihadapi oleh beliau, Erdogan telah mula bersifat autoritarian dan menyekat kebebasan bersuara dalam kalangan rakyat yang tidak berpuas hati. Tindakan beliau membuatkan lebih ramai rakyat membencinya, terutamanya daripada kalangan sekularis dan `Kemalist\u2019 yang dari awal lagi sememangnya tidak suka kepada perubahan berbentuk Islamik dalam masyarakat.\nSuasana dilihat semakin getir pada tahun 2013 apabila kumpulan yang menentang Erdogan mengadakan demonstrasi di Taman Gezi. Pada mulanya, isu utama yang menjadi fokus penunjuk perasaan ialah penentangan terhadap projek pembangunan di taman tersebut yang merupakan salah sebuah kawasan hijau terakhir yang tinggal di bandar Istanbul. Namun begitu, demonstrasi tersebut telah merebak ke seluruh negara serta bertukar menjadi gerakan menentang Erdogan atas alasan beliau semakin bersikap autoritarian. Keadaan menjadi lebih teruk apabila Erdogan bertindak balas secara keras dengan mengerahkan polis anti rusuhan untuk membanteras demonstrasi terhadap beliau. Akibatnya ratusan penunjuk perasaan telah ditahan.\nMalang bagi Erdogan kerana pada masa yang sama, dalam usaha kerajaan Amerika untuk mengatasi masalah inflasi di Amerika, Bank Pusat Amerika (Federal Reserves) telah mengetatkan dasar monetarinya, iaitu dengan menaikkan kadar bunga. Akibat daripada perubahan dasar monetari Amerika ini, banyak pelabur antarabangsa mula memindahkan dana mereka dari beberapa buah negara membangun termasuklah dari Turki ke Amerika Syarikat bagi memperoleh keuntungan daripada situasi kadar bunga yang tinggi tersebut.\nAkibat pemindahan dana daripada sistem kewangan Turki, akhirnya pemilikan asing bon kerajaan Turki turut menurun tahun demi tahun. Kini jumlah pemilikan asing adalah di bawah satu peratus sahaja, berbanding dengan 25 peratus pada bulan Mei 2013. Selain itu,pelabur asing juga telah menarik keluar lebih daripada A.S.$ 7 bilion daripada pasaran saham Turki.\nKebimbangan pelabur asing bertambah buruk selepas referendum yang diadakan oleh Erdogan pada tahun 2017 yang mengakibatkan jawatan Perdana Menteri dihapuskan dan kuasa dipusatkan kepada Presiden. Situasi ini menambahkan kuasa kepada Erdogan dan \u00a0telah digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk mengawal banyak institusi penting dalam sistem politik dan ekonomi Turki.\nAntara institusi yang terkesan daripada tindakan Erdogan ini ialah Bank Pusat Turki. Institusi berkenaan terpaksa tunduk kepada kehendak Erdogan dan tidak dibenarkan bertindak secara bebas dalam menangani masalah inflasi. Sebenarnya perkara yang berlaku ini berkaitan rapat dengan usaha Erdogan untuk merangsang ekonomi Turki semenjak \u00a0awal pentadbiran beliau lagi. Rangsangan ekonomi yang dilakukan dalam sistem yang berpaksikan amalan riba, yakni banyak aktiviti ekonomi dibiayai oleh dana yang diperoleh dengan cara berhutang dari industri hutang atau industri perbankan. Dalam hal ini, Erdogan sendiri keliru dengan isu kadar bunga dan menjangkakan bahawa kadar bunga yang rendah adalah lebih baik dan selari dengan ajaran Islam berbanding dengan kadar bunga yang tinggi. Sebenarnya kadar bunga yang rendah sangat berbahaya bagi jangka panjang kerana \u00a0akan menggalakkan banyak organisasi dan ramai rakyat cenderung untuk berhutang secara berlebihan.\nMenyedari tentang risiko ini, kebiasaannya bank pusat di kebanyakan negara akan bertindak untuk menaikkan kadar bunga sebelum tahap hutang di dalam negara menjadi terlampau tinggi. Walau bagaimanapun, hal ini tidak berlaku di Turki kerana bank pusat Turki terpaksa akur kepada kehendak Erdogan yang mahu kadar bunga kekal rendah. Akibatnya banyak pelabur menjadi bimbang dan mengeluarkan dana dari Turki sekali gus mengakibatkan kejatuhan dalam nilai mata wang Lira. Kejatuhan nilai Lira bukan sahaja membuat kos import menjadi mahal dan mengakibatkan masalah inflasi menjadi lebih teruk, malah turut \u00a0menyebabkan syarikat Turki yang berhutang dari institusi kewangan luar negara menghadapi kenaikan dalam nilai hutang mereka.\nNamun begitu, bank pusat Turki tetap akur dengan arahan Erdogan dan masih enggan menaikkan kadar bunga. Bahkan pada tahun 2021 apabila kadar inflasi semakin meningkat, bank pusat Turki telah mengurangkan kadar bunga secara mendadak , iaitu daripada 19 peratus kepada 8.5 peratus. \u00a0Hal ini mengakibatkan kadar inflasi mencanak naik menjadi 84 peratus pada Ogos 2022.\nPada masa yang sama, Lira terus menjadi lemah dan semakin menurun \u00a0lebih 80 peratus berbanding dengan dolar AS dalam tempoh lima tahun yang lalu. Keadaan menjadi lebih teruk kerana jumlah import Turki adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan kadar eksportnya sehingga menyebabkan Turki mengalami masalah defisit akaun semasa sebanyak enam peratus daripada Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK).\nDalam usaha untuk mempertahankan nilai Lira, bank pusat Turki telah membeli Lira dalam jumlah yang banyak dengan menggunakan rizab dolar antarabangsanya. Malangnya langkah tersebut gagal menyelesaikan masalah walaupun rizab mata wang asing bersih Turki jatuh mendadak. Pada 19 Mei lalu, jumlah bersih rizab mata wang asingnya jatuh ke bawah paras sifar menjadi A.S.$ -151.3 juta.\nBagi membantu memulihkan ekonomi dengan cara menarik pelaburan asing, Erdogan terpaksa merubah polisi luar negaranya termasuklah dengan memulihkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan negara haram Israel, walaupun Israel pernah membunuh sembilan orang warga Turki dalam episod serangan ke atas kapal Mavi Marmara pada tahun 2010 dan masih terus menzalimi warga Palestin dengan membunuh ratusan warganya setiap tahun dan terus merampas tanah-tanah mereka. Erdogan juga memulihkan hubungan\u00a0 diplomatik dengan negara China walaupun beliau pernah mengutuk polisi kerajaan China yang menzalimi warga Uighur.\nHakikat sebenarnya ialah walaupun Erdogan telah memenangi pilihan raya baru-baru ini, pengaruh beliau dan parti AKP semakin hari semakin lemah. Ekonomi Turki juga semakin hari semakin bermasalah dan kemungkinan besar Turki akan terus berusaha untuk meningkatkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan negara-negara Barat dan juga dengan Israel.\nPengajaran utama daripada masalah yang sedang dihadapi oleh Erdogan ialah jika sesebuah negara terus beramal dengan sistem riba yang mengangkat \u00a0industri hutang menjadi paksi kepada semua aktiviti ekonomi, sebarang pertumbuhan ekonomi adalah hanya bersifat sementara sahaja. Lambat laun keadaan ekonomi akan menjadi semakin parah kerana masalah inflasi dan kos sara hidup semakin meningkat dan peluang pekerjaan pula semakin kurang. Rakyat akan semakin kecewa dengan pemimpin walaupun pemimpin tersebut berniat baik dan mempunyai agenda untuk menanam nilai-nilai Islam di negara masing-masing. Malangnya pemimpin di kebanyakan negara Islam masih tidak dapat memahami hakikat ini.\nProf Dr. Mohd Nazari Ismail, Profesor Kehormat di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya." "Kaum Wanita Perlu Tambah Ilmu Pengetahuan \u2013 Raja Puan Muda Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bertitah agar kaum wanita mempertingkatkan diri dengan menambah ilmu pengetahuan supaya dapat berdaya saing pada zaman yang serba mencabar ini.\nHal ini dikatakan demikian kerana ilmu merupakan elemen terpenting dalam pembentukan nilai seorang insan.\nDalam sejarah Islam, wanita bukan sekadar menguruskan rumah tangga, tetapi pada masa yang sama, turut terlibat dalam pelbagai bidang dan aktiviti kemasyarakatan.\n\u201cMalah ketokohan para wanita Muslimah itu terserlah terutama sekali dalam bidang pendidikan dan keilmuan,\u201d titah Baginda.\nTuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Penutupan Webinar Wanita Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Perlis berjudul \u201cKetokohan Wanita melalui Pedoman al-Quran dan al-Sunnah.\u201d\nTitah Tuanku lagi,\nSesungguhnya wanita ialah watak utama dalam pembentukan institusi keluarga. Pengasuhan dan pendidikan anak-anak segalanya bermula daripada tangan seorang wanita yang bergelar ibu.\nDengan tangan yang lembut menghayun buaian inilah maka lahirnya tokoh-tokoh yang memimpin masyarakat dan mentadbir negara. Maka dapatlah kita ketahui bahawa amat besar sekali peranan wanita dalam kehidupan manusia.\nDemikian titah baginda dalam sesi Penutupan Webinar Wanita Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) tersebut." "Cakna tentang Empat Tunggak Sekuriti Makanan \u2013 Pemangku Raja Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Pemangku Raja Perlis, Duli Yang\u00a0 Maha Mulia (DYMM)\u00a0Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa isu kekurangan bekalan mengajar kita tentang kepentingan melaksanakan sekuriti makanan negara.\nAntara tunggak bagi sekuriti makanan termasuklah yang pertama, iaitu \u201cketersediaan makanan\u201c, yang bermaksud ketersediaan kuantiti makanan yang mencukupi dan berkualiti yang dibekalkan melalui pengeluaran domestik atau import.\nKedua, \u201cakses makanan\u201c, iaitu akses kepada sumber makanan yang mencukupi oleh individu; ketiga, \u201cpenggunaan\u201c, iaitu penggunaan ke atas makanan yang lengkap secara berterusan dan mudah diperolehi dan mempunyai sumber air yang bersih.\nSelain itu, perkara keempat ialah \u201ckestabilan\u201c, iaitu memastikan sekuriti makanan, yakni individu atau isi rumah mempunyai akses kepada makanan sepanjang masa.\nDemikian menurut siaran media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini selepas baginda berkenan menyampaikan sumbangan\nberjumlah RM5000 kepada Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Medan, Indonesia.\nMenurut laporan tersebut, Konsul Malaysia, Puan Azizah Abd Aziz yang hadir bersama-sama Pegawai Perhubungan Polis DiRaja Malaysia (MPLO) ASP Ahmad Shahir Abdullah menyambut keberangkatan tiba baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu di Kabupaten Deli Serdang, 26 kilometer ke arah timur dari pusat kota Medan untuk menerima sumbangan tersebut daripada DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra bagi pihak pejabat konsulat itu.\nSumbangan berkenaan adalah untuk tujuan Tabung Ibnu Sabil bagi kegunaan rakyat Malaysia yang berada dalam kesusahan di Sumatera Utara untuk diamanahkan melalui budi bicara pihak pejabat konsulat itu.\nTurut berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama-sama anakanda-anakanda baginda berdua, Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah, YAM Sharifah Farah Adriana dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail." "Sambutan Ulang Tahun RELA Ke-51\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani\u00a0\u2013 Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ke-51 berlangsung dengan jayanya di Pusat Latihan Rela Wilayah Utara (PLRWU) Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah semalam.\nRELA kini mencapai usia lebih daripada 50 tahun sejak penubuhannya dan telah melalui beberapa proses evolusi yang sangat membanggakan berbanding dengan objektif asal membuka peluang kepada rakyat terlibat dalam aspek menjaga ketenteraman awam dan keselamatan.\nMenteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika merasmikannya berkata, RELA sekarang mempunyai lebih daripada 140 000 anggota aktif di seluruh negara.\nWalau bagaimanapun, sebanyak 500 anggota RELA kini terlibat dalam penugasan bersama Pasukan Gerak Am (PGA) bagi mengawal sempadan negara.\nAnggota RELA apabila diberi latihan, mereka sudah tentu dapat memberikan perkhidmatan terbaik di mana-mana sahaja\nTambah Datuk Seri Saifuddin, banyak cabaran terpaksa dihadapi dan anggota RELA dan mereka yang ingin kepada perubahan semasa bakal menikmati kejayaan itu.\nUrusetia hari tersebut, Penolong Pesuruhjaya RELA (PPjR), Siti Hajar Saarani berkata,\nProgram begini berjaya mengeratkan hubungan baik antara satu sama lain dengan kehadiran 800 warga anggota RELA, termasuklah dari negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.\nHadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi, Ketua Pesuruhjaya RELA, Datuk Yahya Sulaiman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain." "Menemui Penulis Pemikir dan Pejuang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nsejaSempena 50 tahun Dewan Sastera (DS), sidang editorial menziarahi Sasterawan Negara Dato\u2019 Baharuddin Zainal atau Baha Zain di rumahnya. Baha Zain pernah menakhodai majalah sastera nasional ini sewaktu era kemuncaknya. Ikuti kisah lalu serta perhitungan masa hadapan tentang majalah ini, dan perbincangan beliau tentang gerakan pembangunan sastera yang perlu mendepani realiti masyarakat semasa.\nNamun begitu, Dewan Sastera yang memaparkan hal sastera tetap ada unsur kebudayaan, falsafah, kritikan, perdebatan dan nasionalisme. Komuniti sastera merupakan komuniti intelektual, dan para nasionalis banyak terdiri daripada orang sastera, seperti Ishak Haji Muhammad (Pak Sako). Semangat nasionalisme awal Melayu banyak terpancar daripada golongan penulis kreatif yang berlatar belakang guru atau wartawan. Muhammad Yasin Maamor (Pungguk), perintis puisi moden juga seorang guru dan pejuang nasionalisme Melayu.\nBaha: Sebenarnya ada latar belakang menarik yang boleh saya ceritakan tentang penerbitan cerpen itu. Saya pergi ke Indonesia sekitar tahun 1970, tetapi sebelum berangkat ke sana, memang sudah ada gagasan untuk menerbitkan majalah sastera yang khas. Oleh itu, saya, Keris Mas (Kamaluddin Muhamad) dan Tongkat Warrant (Usman Awang) berbincang tentang perkara ini. Sebelum tercetusnya idea penerbitan majalah ini, pada tahun 1969, berlaku peristiwa 13 Mei 1969, yang memberikan kesan yang buruk terhadap negara, terutama di ibu kota Kuala Lumpur. Tetapi di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) senarionya berbeza masa itu, terdapat banyak rakan intelektual bukan Melayu yang berkerumun di DBP, seperti Krishen Jit, Lloyd Fernando, Lim Chee Seng dan Edwin Thumboo dari Universiti Malaya. Antara kami penulis dan ilmuwan, tidak timbul konflik perkauman, malah masih terdapat hubungan yang baik antara kami. Sumber kekuatan kami hanyalah melalui penulisan, penerbitan dan pergaulan dalam kalangan orang kreatif dan ilmuwan. Kami masih berjumpa dan berbincang, tetapi masa itu perbincangan lebih terarah kepada perkara penyatuan bangsa. Hubungan kami menimbulkan keinginan intelektual untuk memikirkan cara menjalinkan hubungan dan penyatuan yang lebih akrab. Di sinilah tercetusnya idea supaya ada suatu penerbitan dalam bahasa Melayu yang boleh merapatkan pemikiran dalam kalangan intelektual. Oleh sebab itu, pada awal penerbitan Dewan Sastera, ada beberapa penulis bukan Melayu yang menulis untuk DS.\nOleh sebab saya perlu berangkat ke Indonesia dan tidak dapat bersama-sama menangani penerbitan majalah ini di Malaysia, saya berjanji kepada Keris dan Tongkat untuk menyumbangkan penulisan kepada DS dari Indonesia. Sepanjang masa di Indonesia, saya mempunyai ruang waktu yang lebih banyak untuk menulis. Oleh sebab itu, \u201cMalam yang Melemparkan\u201d tersiar pada halaman awal edisi sulung DS. Kalau dikaji, cerpen itu merupakan satu eksperimen buat saya tentang hakikat kesedaran diri, yang walaupun kita duduk di satu tempat seorang diri, fikiran kita melayang ke belakang, ingat ke depan, kiri dan kanan. Ada satu pendulum diri yang membuai-buai tidak duduk pada satu tempat tetapi bermula pada titik tengah, iaitu diri fizikal kita. Satu \u201ceksposisi sentris\u201d dalam kajian psikologi.\nBaha: Ini sebenarnya cerita yang menarik. Keris Mas merupakan seorang intelektual dan pejuang bahasa dan sastera yang berbeza dengan orang lain kerana beliau mempunyai latar asas agama dari maktab agama di Sumatera. Walaupun begitu, beliau tidak kolot, boleh bertoleran dengan pelbagai perangai dan pemikiran karyawan, seperti kebaratan dan sebagainya. Keris boleh bergaul dengan semua orang tetapi kekal berpendirian teguh. Keris amat rapat dengan A. Samad Ismail, yang juga seorang pemikir tetapi dari dunia yang berbeza daripada Keris. Tongkat seperti adik dengan Keris. Orangnya romantik, sedikit segan dengan Samad dan Keris kerana menganggap mereka berdua sebagai mentor dan abang. Malah, yang kahwinkan Tongkat ialah Keris dan Samad juga! Tongkat pula tidak suka berhujah dengan kita, walau beliau tidak bersetuju beliau hanya akan mengangguk kepalanya. Ketiga-tiganya sudah saling kenal-mengenal di Singapura lagi, malah dipanggil The Three Musketeers! Kedua-dua Samad dan Keris pejuang yang juga terlibat dalam politik. Setelah berpindah dari Singapura, mereka berhimpun di Petaling Jaya. Termasuklah Awam-il Sarkam, Wijaya Mala dan lain-lain, semuanya daripada ASAS 50. Para intelektual seperti Syed Husin Ali dan Kassim Ahmad turut berlegar mengelilingi Samad dan Keris. Terdapat kantung-kantung intelektual di sekitar ibu kota yang mengelilingi mereka.\nKeris selalu menghadapi kesulitan di DBP kerana orang lain tidak mahu berdebat dengannya, lebih-lebih lagi Tongkat. Tongkat sentiasa menghormatinya, tidak akan membangkangnya. Cuma dengan Samad dan saya Keris dapat berdialog. Keris selalu berjalan ke bilik ofis saya untuk berdialog atau membincangkan sesuatu kepada saya. Sewaktu saya mula menjadi Timbalan Ketua Pengarah, setiap pagi sebelum ke pejabat, Keris akan menghubungi saya, menguji saya, lalu berjam-jamlah saya di telefon sehingga telinga saya sakit. Keris sememangnya seorang pemikir dan pencetus inovasi. Beliau mempunyai gagasan-gagasan. Keris sebagai ketua, bukan sekadar seorang ketua bahagian, tetapi berpemikiran ke hadapan.\nBaha: Memang jurnal (sebelum berubah menjadi majalah) Dewan Bahasa merupakan penerbitan paling lama DBP yang memaparkan perihal bahasa. Dewan Masyarakat pula memaparkan hal masyarakat umum. Namun begitu, DS yang memaparkan hal sastera tetap ada unsur kebudayaan, falsafah, kritikan, perdebatan dan nasionalisme. Komuniti sastera merupakan komuniti intelektual, dan para nasionalis banyak terdiri daripada orang sastera, seperti Ishak Haji Muhammad (Pak Sako). Semangat nasionalisme awal Melayu banyak terpancar daripada golongan penulis kreatif yang berlatar belakang guru atau wartawan. Muhammad Yasin Maamor (Pungguk), perintis puisi moden juga seorang guru dan pejuang nasionalisme Melayu. Pada zaman dahulu, guru, penulis, pemikir, ahli politik, sasterawan, wartawan, editor bercampur, bukan seperti sekarang, terlalu mengkhusus pada satu bidang, jarang-jarang berlaku silang kepakaran. PENA pun dahulu satu wadah perjuangan nasionalisme Melayu, bukan seperti sekarang yang amat intelektual.\nBaha: Secara peribadinya, saya tidak menghadapi apa-apa masalah dengan budaya kerja para editorial waktu dahulu, kecuali, biasalah, ada seorang dua hero. Tongkat sendiri seorang editor yang tekun kerjanya. Hanya beliau selalu mengadu kepada saya kerana terlalu ramai yang datang menemuinya sebagai konsultan. Beliau akan bekerja sampai lewat petang menyiapkan artikel. Sememangnya, Tongkat seorang yang pemurah dan tidak pandai memarahi orang. Duitnya pun orang pinjam.\nBaha: Saya berpandangan ada beberapa faktor. Antaranya, faktor sosial budaya dan persekitaran yang melalui perubahan zaman. Pada zaman selepas merdeka, pejuang nasionalis sebenarnya digerakkan oleh kelompok sasterawan bersama-sama orang politik. Waktu itu sastera dengan semangat perjuangan kebangsaan semacam sinonim. Begitu juga para wartawan dan sasterawan. Imej sastera dulu bukan memfokuskan sastera semata-mata tetapi sastera yang fungsional, iaitu sastera yang memberikan makna pada masyarakat. Pejuang massa. Karya mereka memancarkan perjuangan menentang penjajah dan kemudian kelas elit, seperti protes politik Teluk Gong dan Keranda 152 yang melibatkan bukan sahaja penulis, tetapi aktivis politik dan rakyat biasa. Penulis dahulu ialah penulis yang mempunyai fungsi sosial, ada kecenderungan politik terutamanya berhaluan kiri. Antara nama penulis yang menyertai politik termasuklah Shahnon Ahmad, M. Noor Azam, Kassim Ahmad dan Syed Husin Ali. Noor Azam contohnya, orang UMNO, tetapi apabila ada perjuangan bahasa dan sastera, beliau memihak pada perjuangan sebegitu. Samalah seperti PENA dahulu, memang anti golongan berkuasa. Oleh itu, sastera, politik, kekuasaan dan anti golongan berkuasa berbaur pada masa itu. Perkara ini berlarutan sehingga akhir 1980-an.\nNamun apabila zaman semakin canggih, pemodenan membawa pengkhususan, lalu sastera sudah menjadi bidang yang khusus, sasterawan bukan lagi orang politik tetapi sasterawan murni, baik cerpenis mahupun penyair. Penulis hanya menjalankan tugas semata-mata sebagai penulis sastera. Hanya orang sastera dan peminat sastera yang melihat imej sastera sekarang. Jika ada penulis yang anti golongan berkuasa kini, mereka lebih anti golongan berkuasa yang individualistik. Penulis sekarang tidak mempunyai sikap seperti penulis dahulu. Contohnya demonstrasi PPSMI, berapa ramai sahaja golongan penulis yang bersama-sama memprotesnya? Berapa ramai yang sanggup berarak di jalan raya? Sekarang pun saya tidak fikir ada satu kebangkitan yang besar. Adakah GAPENA atau PENA sanggup buat?\nBaha: Saya bahagikan para pengkritik pada dua kelompok, iaitu para akademik dan para pemikir yang bukan ahli akademik. Bagi saya, tidak semestinya pengkritik terdiri hanya daripada ahli akademik. Pengkritik sastera, eseis dan pembicara sastera perlu terdiri daripada golongan pemikir, yang tidak perlu hadir daripada kalangan sarjana universiti. Seperti di Indonesia, pemikir sastera dari luar kampus jauh lebih hebat dari dalam kampus. Kadang-kadang ahli akademik terlalu patuh pada disiplin ilmu, sehingga menghasilkan perbicaraan yang kurang menarik. Saya juga risau dengan pendidikan sastera di universiti sekarang. Adakah sudah mula tidak dinamik? Sudah tidak mampu melahirkan sarjana yang multi disiplin ilmu? Hal ini berbeza dengan zaman dahulu apabila ahli akademik menguasai pelbagai disiplin ilmu kerana universiti membuka penawaran disiplin ilmu yang pelbagai. Adakah sekarang di universiti, masuk tahun kedua sudah perlu menduduki bidang khusus?\nBagi saya, pengkritik sastera yang baik bukan sekadar mempunyai disiplin sastera dan linguistik tetapi multidisiplin. Dia mungkin sosiologis, sejarawan, atau ahli ekonomi. Mana-mana intelektual pun tidak boleh memikirkan satu bidang sains sahaja, mereka perlu suka seni, budaya, sastera, sosiologi, sejarah dan lain-lain. Dahulu, Syed Husin Ali daripada pengajian Melayu tetapi arif dengan pelbagai disiplin yang kemudian menjadi sarjana sosiologi dan ekonomi. Ismail Hussein dan Kassim Ahmad, mereka arif dalam pelbagai disiplin. Di Indonesia pula, pengkritik sastera yang bagus seperti Umar Kayam datang daripada bidang sosiologi. Goenawan Mohamad daripada bidang psikologi. Bagi saya, pengkritik sastera yang bagus mestilah seorang yang sudah tersedia multidisiplin, yang boleh menghubungkan sastera dengan perubahan masyarakat, permasalahan sejarah dan nilai-nilai budaya. Jika sebaliknya, pengkritik hanya akan bercakap tentang bahasa, plot, terlalu berstruktur, dan bukan kandungannya. Bagi orang awam, mereka mahu melihat sastera dibincangkan dalam konteks kehidupan masyarakat yang mereka sendiri lalui.\nBaha: Kita harus melihat generasi penulis sekarang dalam konteks masyarakat kita. Jika dilihat orang politik pun, dahulu diwakili orang kampung yang berjuang, bersemangat kebangsaan. Kini, amanah mereka dipersoalkan. Objektif hidup dan persekitaran sudah berubah. Oleh sebab itu, saya tidak hairan, penulis sekarang menulis semacam hobi yang hanya menulis untuk ekspresi diri, suatu aspirasi peribadi, bukan menulis untuk satu proses memperkayakan bahasa dan kesusasteraan nasional, apatah lagi sebagai alat perjuangan. Berbeza dengan zaman dahulu, penulis seperti Tongkat dan Keris, mereka berjuang melalui media massa, walaupun Keris boleh dianggap sebagai elit, tetapi beliau tidak mengasingkan dirinya daripada isu masyarakat.\nTetapi kita tidak boleh menyalahkan penulis sekarang kerana keperluan hidup sudah mencukupi, dan penulisan hanya sebagai hobi untuk mengisi ruang lapang, bukan lagi sebagai satu perjuangan. Faktor sosial budaya menjadikan sastera sebagai ekspresi diri individual, ibarat melukis untuk hiasan semata-mata. Seperti pelukis sekarang pun, jika dahulu lebih banyak lukisan figuratif dan orang miskin, kini lebih banyak lukisan abstrak dan ekspresionis. Alam pun sudah tidak dilukis. Saya rasa hal ini merupakan perubahan psiko-emosi yang turut menyebabkan masyarakat disusun secara fragmented. Hal ini sama seperti yang berlaku dalam persatuan penulis kita. Saya pun tidak pernah mengkaji sejauh mana penulis sekarang berjuang untuk rakyat. Bentuk penulisan individualistik sekarang mungkin baik dari segi nilai sasteranya, tetapi saya tidak tahu jika ada yang memberikan makna kepada masyarakatnya.\nBaha: Ketika saya bersendirian, saya suka berfikir tentang hal-hal seperti ini. Saya rasa PENA perlu ada penilaian semula yang kritikal ke arah mana mereka hendak tuju, juga bahagian penerbitan DBP, terutamanya Bahagian Majalah. Bahagian Majalah mempunyai ruang untuk mengubah minda masyarakat secara kolektif. Ruang yang ada ini sangat berkuasa untuk menentukan hala tuju yang diingini. Dulunya, Bahagian Majalah mempunyai aspirasi sedemikian, iaitu memperjuangkan bahasa Melayu dan keadilan sosial. Secara peribadi, saya amat bimbang terhadap bangsa Melayu, kerana sudah tidak ada lagi perjuangan yang jelas. Mungkin sebagai seorang individu mereka ada, tetapi bukan sebagai sebuah komuniti. Sidang editorial penerbitan perlu mencari jalan untuk menanamkan nilai baharu serta nilai mutu kerja yang serius.\nBaha: Saya berpandangan, kita tidak boleh berundur balik terhadap kepantasan dunia sekarang, namun cara dan budaya menikmati sastera sebegini lebih pantas, informatif dan artifisial, menyebabkan kita terpaksa menjadi penerima maklumat tanpa sempat berfikir panjang. Hal ini berbeza dengan karya yang bercetak, seperti majalah atau jurnal dengan teks yang panjang, yang kita dapat duduk baca, cerna dan memberikan buah fikiran, malah boleh diletak sebentar sebelum disambung baca. Pengguna media sosial sekarang terpaksa cepat-cepat menatap pos dan tulisan, lebih cenderung menjadi pemikir yang superfisial tetapi kaya dengan maklumat. Jika mereka hendak berdialog, wacananya kurang jelas kerana mereka tidak mampu menstrukturkan subjek itu dalam minda.\nBaha: Saya percaya satu perkara, yakni kita perlu faham dan pegang nilai-nilai Melayu Islam. Berkenaan teknologi baharu ini, mungkin dari segi bahan bacaan, kita boleh baca, tetapi adakah teknologi sebegini mampu memahami dan menyampaikan persoalan tentang nilai dan pengalaman kebaikan? Kecualilah jika mereka \u201cpemikir\u201d.\nBaha: PENA dan GAPENA perlu menjadi pemikir tentang bahasa, kebudayaan dan kesusasteraan Melayu. Mereka perlu mencari penyelesaian yang praktikal, konkrit dan mampu dilaksanakan. Mereka perlu perjelas dahulu permasalahan budaya, pendidikan dan intelektual yang mutakhir. Mereka perlu berjumpa pemimpin untuk menyatakan hasrat mereka. Dalam hal ini, DBP sendiri perlu membina penulis yang berwibawa. DBP harus menyatakan hala tuju yang jelas kepada penulis tentang matlamat DBP. Pelbagai cara boleh dijalankan, contohnya dahulu DBP ada perkampungan penulis atau writers residency. Penulis-penulis ini bukan sahaja menghasilkan karya, beri ceramah, tetapi perlu berdialog dengan pelbagai editor dan karyawan di DBP. Oleh itu juga, peranan, tugas dan tanggungjawab editor di DBP perlu dinilai semula. DBP perlu menyusun semula perancangan dan pemetaan yang merangkumi hal-hal ini. Pembinaan bakat misalnya, bukan sahaja untuk berkarya tetapi untuk berfikir. DBP mempunyai ruang dan cara untuk melakukan pelbagai perkara untuk membangunkan bangsa Melayu.\nBaha: Saya sebenarnya seronok dengan kerjaya saya ketika itu. \u201cKeseronokan\u201d itu sebenarnya kerana saya dapat memperjuangkan perkara yang besar, iaitu nasib bahasa Melayu dan penerbitan dalam bahasa Melayu. Saya rasa komitmen dan tumpuan saya terhadap perjuangan bahasa dan sastera menggembirakan saya. Bahasa dan sastera sudah menjadi darah daging saya." "Sastera \u201cLisan\u201d Hidup Kembali Melalui Aplikasi Media Sosial\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLupakan seketika sesi perbincangan sastera bersemuka secara fizikal yang biasa dilakukan ketika sebelum Mac 2020. Hari ini, perbincangan sedemikian boleh saja berlangsung dalam talian dengan satu lagi kelebihan \u2013 ia boleh diakses oleh sesiapa sahaja dengan syarat anda seorang pemilik iPhone.\nAplikasi yang dinamakan sebagai Clubhouse itu mungkin dilihat sebagai pusat mengumpul pengaruh yang elitis, namun dari sudut positifnya, ia berpotensi untuk menyebarluaskan sastera kepada khalayak \u201celitis\u201d itu.\nRumah Punggok merupakan antara konsultan seni dan penerbitan yang kerap muncul di Clubhouse, meneroka pelbagai isu mengenai sastera dan penerbitan.\nDikendalikan oleh pasangan penulis, Wan Nor Azriq dan Ainul Muaiyanah Sulaiman, sesi Clubhouse Rumah Punggok yang dinamakan sebagai #ArkibCerita dibuka hampir setiap hari.\nAinunl Muaiyanah ketika ditanya mengenai Clubhouse #ArkibCerita menyebut, di Malaysia ketika ini aplikasi ini mungkin masih sukar diakses oleh ramai orang tetapi setakat ini, ia telah menarik ramai khalayak muda untuk memperkatakan mengenai sastera di Malaysia.\n\u201cAda di antara mereka yang sangat muda dan hijau dalam sastera, ada peminat dan sebahagian besarnya pembaca.\n\u201cKami buka ruang sembang untuk sesiapa saja yang berminat dan kita juga selaku pengguna boleh meminta untuk turut serta menyertai topik-topik yang disenaraikan dalam Clubhouse,\u201d katanya.\nTegas Ainunl Muaiyanah, disebabkan aplikasi media sosial ini dikendalikan dalam sesi tidak formal dan boleh dicapai menerusi talian peribadi, setiap peserta lebih selesa melontarkan pandangan.\nIsu betul atau tidak atau tepat dan sebaliknya tidak timbul kerana Clubhouse ialah ruang sembang bebas.\n\u201cSaya melihatnya sebagai ruang untuk mencambahkan pemikiran. Apatah lagi pada zaman pandemik ini, kita tidak mampu lagi hendak berdiskusi seperti dulu.\n\u201cNamun ia bukan alasan untuk membataskan sesi percambahan idea apatah lagi sastera masa kini seharusnya tidak lagi tersekat pada gaya konvensional,\u201d katanya.\nSatu hal yang nyata, Clubhouse ketika ini sedang tular dan seharusnya sastera turut sama-sama berada dalam arus itu. Bagi anda yang biasa mengikuti podcast, pengalaman meneroka Clubhouse hampir serupa dengan sedikit perbezaan iaitu, aplikasi ini boleh diaktifkan atas jemputan atau boleh saja berada dalam senarai menunggu sebelum dicalonkan menjadi ahli Clubhouse iaitu rakan anda.\nMemetik kata pengasasnya, Paul Davison dan Rohan Seth, aplikasi ini masih pada fasa percubaan dan bakal dibuka kepada pengguna Android seawal bulan April." "Dua Cerpen Digabung dalam Sebuah Adaptasi Telefilem RTM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) semakin erat dalam usaha mengangkat karya sastera ke dalam medium yang lebih besar.\nSesudah adaptasi puisi oleh Siti Zaleha Hashim, Sesekali dan cerpen Azizi Hj. Abdullah, Pendoa yang Ikhlas pada tahun 2019, kerjasama DBP-RTM merealisasikan Capa Rengat Gulai Rawo, iaitu dua buah cerpen tulisan pengarang Baharuddin Kahar dalam sebuah telefilem dengan tajuk serupa, \u201cCapa Rengat\u201d dan \u201cGulai Rawo\u201d.\nPada majlis pelancaran 15 Mac yang dihadiri oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Dr. Hazami Jahari, bersama-sama Pengarah Pembangunan Strategik Jabatan Penyiaran Malaysia, Abdullah Daud, Hazami secara jelas menyebut DBP komited untuk menyebarluaskan kandungan bahan sastera melalui migrasi teknologi, antaranya daripada cetak kepada layar televisyen.\n\u201cPenyampaian karya sastera dalam bentuk sebegini boleh dibuat secara menyeluruh.\n\u201cDBP melalui perancangan jangka panjang tidak lagi hanya tertumpu kepada karya bercetak tetapi juga akan beralih kepada bentuk penerbitan yang lain,\u201d katanya.\nSementara itu, dalam Forum Capa Rengat Gulai Rawo yang diadakan sejurus pratonton telefilem berkenaan, pengarahnya Wan Afzam Wan Daud menyebut adaptasi dua cerpen karya Baharuddin adalah usaha kecil beliau untuk menampilkan karya yang baik dan bermesej dalam usaha mendidik penonton.\nKatanya, adaptasi dua cerpen sekali gus dalam sebuah telefilem bukan kerja mudah tetapi ia masih dapat disempurnakan dengan jayanya hasil kerjasama berpasukan.\n\u201cKarya Pak Bahar juga mudah difahami kerana beliau meletakkan rasa. Kita boleh membaca rindunya seorang bapa, rasa gembira kanak-kanak yang tinggal di bandar yang dapat balik ke kampung, dan setianya seorang anak dengan bapanya yang lebih banyak berdiam dalam kedua-dua karya itu,\u201d katanya.\nTambahnya, walaupun dua cerpen itu berbeza isu tetapi ia tidak menghalang kedua-duanya \u201cdijahit\u201d sempurna dalam sebuah cerita.\nBaharuddin pula dalam forum yang sama menegaskan, cerpen itu ditulis pada tahun 1970-an dan ia dihasilkan berdasarkan pengalaman dan perasaan beliau ketika itu.\n\u201c\u2018Capa Rengat\u2019 saya tulis selepas melalui keharuan yang berpanjangan apabila pulang ke kampung setelah sekian lama tidak berbuat demikian.\n\u201cSaya balik ke kampung mengambil angin berpusing-pusing dan menjejaki pengalaman dulu. Saya melihat bunga capa rengat di paya dan mengambilnya. Saya letak dalam vas dan beberapa jam, kelopak mula gugur dan saya terfikir keindahan tidak kekal,\u201d katanya.\nTegas Baharuddin, renungan itu bercampur dengan perasaan yang sudah lama tidak balik ke kampung sehingga menimbulkan keharuan yang berpanjangan dan menghantui hingga esok harinya dan memutuskan untuk menuliskan pengalaman berkenaan dalam bentuk karya.\nKatanya, cerpen \u201cGulai Rawo\u201d juga dihasilkan selepas sekian lama tidak menikmati gulai berkenaan dan ia menimbulkan pengalaman yang mencetuskan idea berkarya.\nCerpen \u201cCapa Rengat\u201d dihasilkan pada tahun 1976 dan memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1976/1977, manakala cerpen \u201cGulai Rawo\u201d dihasilkan pada tahun 1980. Kedua-duanya disiarkan dalam majalah Dewan Sastera terbitan DBP. Sempena telefilem Capa Rengat Gulai Rawo yang akan ditayangkan pada slot Panggung RTM, Sabtu, 20 Mac di TV1, kedua-dua cerpen itu kembali dicetak dengan judul serupa." "Kemeriahan Temasya Bahasa Kuala Lumpur 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bertepatan dengan semangat Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), melalui Bahagian Perkamusan menganjurkan Temasya Bahasa Kuala Lumpur 2022 (TBKL 2022) peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada hari ini dengan jayanya. Sebanyak 20 buah sekolah di seluruh Kuala Lumpur turut serta untuk menghidupkan \u201ctemasya\u201d yang bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bukit Maluri (SMKTBM) di sini.\nKejayaan TBKL 2022 ialah petanda bahawa kerjasama strategik antara DBP dengan sekolah hos, SMKTBM, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Perpustakaan Negara Malaysia telah memberikan dampak positif bagi citra bahasa kebangsaan dalam kalangan warga pendidikan.\nTumpuan pengunjung temasya bukan sahaja terhadap aktiviti permainan bahasa di reruai, seperti Roda Kata, Dam Bahasa dan Sahibba Chopp, bahkan sebanyak empat pertandingan utama turut mencuri perhatian. Pertandingan tersebut ialah Pertandingan Pencak Aksara Kategori Sekolah Rendah, Pertandingan Pencak Aksara Kategori Sekolah Menengah, Pertandingan Baca Naskhah Melayu Klasik dan Pertandingan Dengarlah Ceritaku.\nDaripada kesemua pertandingan ini, 24 orang pelajar yang hadir bersama-sama guru pengiring masing-masing telah membawa pulang hadiah wang tunai dan sijil penghargaan bagi tempat pertama, kedua, ketiga dan tiga hadiah sagu hati.\nKesemua pertandingan diadakan secara serentak, bermula pada pukul 9.00 pagi hingga pukul 12.30 tengah hari, iaitu sebelum bermulanya majlis penutupan TBKL 2022 yang disempurnakan oleh Yang Berusaha Dr. Rusmadi Baharudin, Ketua Bahagian Perkamusan DBP.\nDalam ucapan penutupannya, beliau menzahirkan harapan agar segala perjuangan dan usaha untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan serta melahirkan masyarakat berbudaya membaca beroleh impak sinergi yang berpanjangan. Selaku sekolah hos TBKL 2022, SMKTBM telah diberi penghargaan dan ucapan tahniah atas komitmen yang digalas bersempena dengan penganjuran ini." "Gunung Cha \u201cWasiat\u201d Terakhir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNovel Gunung Cha ialah novel terakhir Malim Ghozali PK sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 18 Jun 2020. Seperti kehidupan manusia, penyediaan novel turut melalui suatu proses yang panjang dan berliku-liku. Ikuti catatan editornya sendiri menceritakan pengalamannya menekuni manuskrip novel terakhir Malim itu serta menjejaki rahsia sebenar \u201cGunung Cha\u201d daripada pengarangnya.\nAdakah \u2018Gunung Cha\u2019 itu benar-benar wujud atau sekadar perlambangan semata-mata? Kata Pak Malim, kedua-dua perkara itu disampaikan dalam karyanya. Lokasi itu wujud manakala perlambangannya juga ada.\nPada awal bulan Disember tahun 2019, satu pertemuan diadakan bersama-sama Malim Ghozali PK (Allahyarham) di sebuah warung yang berhampiran dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau ada menyatakan sebuah karya yang telah siap ditulis dan dikarang, dan hasrat itu disampaikan untuk menjadikan manuskrip itu dapat diterbitkan oleh DBP. Saya mendengar beliau menceritakan kisah dan pengalaman hidupnya sehingga membawa ke dunia mencipta sebuah karya yang diberi judul \u201cGunung Cha\u201d. Pasti, Gunung Cha itu dekat dengan jiwa dan beberapa kisah hidupnya yang diadun bersama-sama aksara dan rakaman penulisannya. Kisah ke gunung pasti dekat dengan minat dan kehidupan saya, tambahan pula latar dalam karyanya ada menyentuh lokasi yang pernah menjadi misi pendakian saya pada tahun 2016 dan 2017. Mengenali dirinya bukanlah pada hari itu, tetapi mengenalinya sudah hampir lapan tahun, bermula saya sebagai peserta di dalam Bengkel Penulisan Cerpen yang tenaga pengajarnya ialah Malim Ghozali PK.\nKini, pertemuan kedua dengan beliau diadakan semula. Kali ini perbincangannya lebih mendalam tentang karya baharunya. Tugas mendalami dan membedah idea pengarang ialah salah satu cara mengembangkan cara berfikir seorang editor yang mungkin boleh dianggap sebagai pengarang kedua. Dari awal hingga akhir, dihuraikan jalur ceritanya sehinggalah membuka kepada soalan apakah maksud di sebalik judul \u201cGunung Cha\u201d. Adakah \u201cGunung Cha\u201d itu benar-benar wujud atau sekadar perlambangan semata-mata? Kata Pak Malim, kedua-dua perkara itu disampaikan dalam karyanya. Lokasi itu wujud manakala perlambangannya juga ada.\n\u201cPerlambangan Gunung Cha ialah ketinggian rasa cinta. Gunung antara makhluk Tuhan yang tinggi sifatnya, datarannya, manakala Cha bukan sekadar nama watak \u2018\u00c7hauntelle\u2019 tapi huruf \u2018Cha\u2019 pada awal perkataan \u2018cinta\u2019. Huruf C.\u201d\n\u201cBagaimana dengan lokasi sebenarnya?\u201d tanya saya, tangan tersedia pena dan sehelai kertas A4.\n\u201cLokasi sebenar ialah sebuah dataran tinggi. Banjaran Titiwangsa. Gunung Korbu. Itu antara latar tempat semasa watak utama, Mad meneruskan pendakian. Tapi, cerita ini bukanlah kisah pendakian, tapi ada pelbagai konflik dengan latar tempat yang pelbagai, bukan semata-mata di hutan. Ada di kota, ada juga di negara lain, selain Malaysia.\u201d\n\u201cBagaimana dengan kewujudan Gunung Cha? Setahu saya, Gunung Cha tidak wujud namanya di Banjaran Titiwangsa. Antara gunung tertinggi di banjaran itu pun Gunung Yong Belar, Gunung Gayong, Gunung Chamah di sempadan Perak dengan Kelantan, dan Gunung Korbu ialah puncak tertinggi di Banjaran Titiwangsa.\u201d Saya memberikan pertanyaan dan beberapa huraian berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang pendaki dataran tinggi.\n\u201cGunung Cha aku gambarkan sebagai perlambangan akan nilai cinta. Tapi, ini juga berdasarkan pengalaman aku. Baiklah. Sedikit aku kongsikan. Gunung Cha kata sesetengah para pendaki dan orang tua-tua, termasuk orang asli memang wujud. Namun, sesetengah pendapat mengatakan diperlihatkan kepada orang tertentu sahaja. Lokasinya terletak di antara Gunung Korbu dengan Gunung Gayong.\u201d\nSaya mulai berfikir. Bersirat dalam minda dengan mengesahkan bahawa Pak Malim pernah melihat letaknya Gunung Cha. Biasanya, seorang pengarang yang mencipta sebuah hasil penulisan sedikit sebanyak memasukkan pengalamannya dalam karyanya. Itu yang menjadikan sesebuah penulisan itu \u201chidup\u201d, seolah-olah melihat sebuah filem dan drama atau wayang gambar secara nyata.\n\u201cPak Malim pernah ke situ?\u201d tanya saya. Beliau hanya diam dan matanya memandang saya bersama-sama sebaris senyuman.\nSebagai editor, mencelah dan berbahas sesuatu yang kurang difahami adalah perkara biasa dalam mengembangkan lagi idea untuk sesebuah karya. Celahan demi celahan diutarakan, dan ini dijawab oleh Pak Malim dengan jawapan yang cukup panjang. Katanya, \u201cKarya ini mungkin terakhir untuk aku, dan aku tulis ceritanya tidak mengikut kronologinya, tapi susunan makna kehidupan dan cinta yang aku ingin sampaikan. Tapi susunan mengikut latar masa dan tempat serta watak telah aku buat. Mungkin bab 1 tidak akan sama dengan bab-bab lain. Wajar untuk pembaca berfikir apa yang aku ingin sampaikan.\u201d\n\u201cAdakah cinta kepada manusia semata-mata?\u201d\n\u201cTidak, cinta yang merangkumi tiga elemen utama. Pertama, cinta terhadap Tuhan sebagai cinta hakiki. Kedua, cinta kepada manusia. Ketiga, cinta terhadap alam ciptaan-Nya.\u201d\nPada hujung bulan Disember tahun 2019, manuskrip ini telah dihantar ke Jabatan Penerbitan, Bahagian Buku Sastera dan diterima di meja saya pada awal bulan Januari tahun 2020 untuk ditangani proses penerbitannya. Bermula dengan proses penilaian peringkat bahagian dan seterusnya dibawa untuk kelulusan Jawatankuasa Editorial. Namun, sebelum dibawa ke Jawatankuasa Editorial, ada beberapa penambahbaikan yang perlu dibuat oleh penulis bagi memperkemas susunan cerita dan garapan idea. Begitu juga dengan susunan watak (manusia dan haiwan) dan latar tempat yang menjadi penekanan dalam karya ini. Akhirnya, manuskrip ini diluluskan penerbitan dan tugasan ini bermula dengan kerja-kerja penyuntingan. Bagi editor, kerja penyuntingan menjadi mudah sekiranya sesebuah karya diperhalusi terlebih dahulu, terutama pada peringkat penilaian bahan.\nPada akhir pertemuan itu, beliau ada menyebut, \u2018Aku sakit.\u2019\nDalam proses sunting sesebuah manuskrip, logik peristiwa perlu diberi perhatian. Hal ini berdasarkan juga ilmu yang disampaikan oleh Mohamad Shahidan yang saya anggap sebagai guru untuk bidang sunting kopi dan substantif sesebuah karya. Beliau juga merupakan mantan editor di DBP. Malah, banyak karya Pak Malim diteliti terlebih dahulu oleh beliau sebelum diserahkan ke DBP. Ini kepercayaan seorang pengarang kepada editor lama seperti beliau. Begitu juga dengan \u201ckehadiran\u201d Gunung Cha. Pernah suatu ketika Mohamad Shahidan memberitahu saya tentang sebuah manuskrip Pak Malim yang bakal diserahkan ke DBP. Katanya, serahan ini seboleh-boleh kepada editor pilihannya untuk ditangani. Selaku orang muda, rasa dihargai itu ada disebabkan oleh nilai kepercayaan pengarang kepada editor masih berlangsung dalam dunia pengkaryaan.\nProses penyuntingan mengambil masa hanya beberapa minggu, dan di situ juga beberapa olahan dilakukan oleh editor. Bukan kerja yang mudah untuk meminda dan menukarkan hasil penulisan pengarang yang banyak menghasilkan karya terbaik dan banyak memenangi pelbagai anugerah dalam dan luar negara. Apabila menyebut Tree of Sorrow (diterjemahkan daripada buku Luka Nering) pasti tergambar raut wajah Pak Malim. Itulah antara karya yang berjaya disenaraikan antara 160 novel terbaik dunia oleh IMPAC-Dublin International Book Award 2016. Malah, karyanya Redang yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 1988 telah diadaptasi ke dalam drama TV, Panggung RTM 1 dengan judul Ipin. Pak Malim juga dinobatkan sebagai Sasterawan Perak pada tahun 2014. Namun begitu, apa-apa yang dibaiki dan diubah, saya bertanya dahulu kepada Pak Malim sama ada setuju atau tidak, kerana tidak mahu mengubah identiti kepengarangan seorang penulis.\n\u201cNur, hantar kepada saya yang kausunting. Aku mahu baca,\u201d jelasnya dalam talian telefon pintar.\n\u201cSaya sudah hantar dalam e-mel Pak Malim,\u201d jawab saya.\nSelang beberapa hari, beliau menyatakan telah selesai membaca hasil suntingan dan beliau bersetuju dengan olahan dan tambah baik yang dibuat oleh editor. Pada awal bulan Mac, manuskrip ini dihantar ke bahagian yang menguruskan reka letak dan proses penerbitan sehingga terbit.\nPada 8 Mei 2020, ada pertemuan pada pagi Jumaat, bersamaan dengan 15 Ramadan 1441H di perkarangan Wisma DBP. Turut serta dalam suasana Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa itu ialah Mohamad Shahidan. Dalam pertemuan itu juga Pak Malim menyatakan telah menterjemah Gunung Cha ke dalam bahasa Inggeris. Hasratnya dapat diterbitkan oleh DBP. Judulnya Mount Cha. Teruja dengan semangat beliau menghasilkan terjemahan dalam tempoh masa yang singkat, malah dirinya mempunyai wawasan yang tinggi sebagai seorang pengarang yang mahukan karyanya dapat dibaca oleh pelbagai masyarakat. Maksudnya merentas bangsa dan negara. Pada akhir pertemuan itu, beliau ada menyebut, \u201cAku sakit.\u201d\nItulah pertemuan terakhir kami. Dan, pertemuan itu banyak mutiara kata dan nasihat daripadanya, yang saya anggap itulah \u201cwasiat\u201d berharga buat orang muda seperti saya. Beliau telah menghembuskan nafas dan pulang ke alam abadi pada 18 Jun 2020 (Khamis).\nGunung Cha dan Mount Cha telah diterbitkan pada tahun 2020 bersama-sama dengan beberapa judul yang lain, seperti Usia, Ini Chow Kit Road, Sudilah Mampir, kumpulan cerpen Cerita Sarah Leong, dan karyanya yang diulang cetak semula, iaitu Redang.\n\n_________________________\nNor Muhamad Mat Zain atau Nur Muhamad Fansuri seorang pendaki gunung yang tegar dan amat intim dengan alam kehijauan fauna. Hasil makalah beliau pernah disiarkan dalam majalah Dewan Budaya dan Portal Gerbang Borneo. Beliau pernah menjadi editor di Bahagian Buku Sastera, Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan kini merupakan seorang pegawai di Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka." "Sidang Meja Bulat \u201cMengangkat Tamadun Melayu Mahawangsa\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pada 8-10 Mac 2021, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia menganjurkan Sidang Meja Bulat yang bertema \u201cMengangkat Tamadun Melayu Mahawangsa\u201c.\u00a0 Pengarah ATMA, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan mengatakan, tujuan utama Sidang Meja Bulat itu adalah untuk membuat penilaian pencapaian dan keberkesanan ATMA dalam usaha mengangkat tamadun Melayu sebagai teras tamadun negara.\nSidang Meja Bulat ATMA menggarap bidang tamadun dengan pengertian yang luas, bukan hanya bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan, malahan membuka perbincangan dalam bidang ekonomi, pendidikan, komunikasi, sejarah, warisan dan ketatanegaraan, dan yang terkini, bidang etnosains dan teknologi yang menekankan sumbangan tamadun Melayu dalam ilmu sains dan teknologi di Alam Melayu. Selain itu, Sidang Meja Bulat ATMA turut mengusahakan penubuhan Pangkalan Data Penerbitan llmiah Berbahasa Melayu untuk memberikan penarafan kepada penerbitan ilmiah dalam bahasa Melayu.\nLebih 250 orang sarjana, pemimpin\u00a0badan kerajaan, badan swasta dan pertubuhan diundang dan peserta dipecahkan kepada Iapan sidang yang menjurus pada bidang-bidang khusus tamadun. Panel Sidang Meja Bulat turut melibatkan pakar antarabangsa seperti Amerika Syarikat, Australia, Belanda, Brunei Darussalam, Cambodia, Capetown, China, Indonesia, Jerman, Jepun, Madagascar, Rusia, Singapura dan Sri Lanka, selain pakar dari Malaysia.\nRumusan sidang akan diterapkan dalam penyusunan Pelan Strategik ATMA dan UKM dan juga dalam bentuk penubuhan pasukan petugas dalam semua bidang tamadun untuk melakukan penyelidikan, penerbitan dan kegiatan pengembangan pada peringkat negara, serantau dan antarabangsa." "Malam Baca Puisi PENA-JKKN\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), mengadakan Majlis Malam Baca Puisi PENA \u2013 \u00a0JKKN bersempena dengan Ulang Tahun PENA yang Ke-60 pada tahun 2021, bertemakan \u201cTika usia di hujung mimpi sebuah masa lalu menjadi igau negeri\u201d. Majlis ini telah dilancarkan oleh YBrs. Tuan Haji Mesran Mohd Yusop, Ketua Pengarah, JKKN bersama-sama YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Presiden PENA.\n\nSejak tahun 1998, antara kegiatan PENA ialah Malam Baca Puisi PENA. Kegiatan ini merupakan antara medan baca puisi untuk para penyair, deklamator dan aktivis serta khalayak ramai mempersembahkan karya atau bakat mereka di pentas. Program juga merupakan ruang bagi aktivis seni dari pelbagai bidang seperti teater, tari, penyair, pemuzik berkumpul dan bertukar pandangan tentang seni dan budaya.\n\u201cProgram seumpama ini perlu disokong kerana ianya mampu menyemarakkan kegiatan kesusasteraan dan seni berbahasa, khususnya Baca Puisi kepada khalayak. Selain itu, menjadi medan pertemuan para penulis, aktivis dan budayawan di samping dapat memperkenalkan bakat dan karya baharu.\u201d Ucapan Ketua Pengarah JKKN, Tuan Haji Mesran Mohd Yusop.\nMajlis ini turut di hadiri oleh YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, YBhg. Datuk Johan Jaafar, Sasterawan Negara dan pencinta kesusasteraan serta penggiat seni sastera di sekitar Lembah Klang." "Oran, Wabak dan Dunia Abstrak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKolumnis S.M. Zakir membaca The Plague nukilan Albert Camus pada musim wabak COVID-19 dan menemui abstrak dan absurd kota dan seisi penduduknya, memantul pada abstrak dan absurd keadaan dunia yang sedang dihadapi oleh kita.\nWabak turut mengubah cara manusia berfikir, untuk mengatasi bahaya yang boleh menghapuskan kehidupan manusia. Sekali gus memusnahkan struktur cara fikir lama.\nOran ialah sebuah kota kolonial Perancis di Algeria yang digambarkan diserang wabak oleh Albert Camus dalam novelnya, The Plague. Oran ialah pusat pentadbiran kolonial Perancis di negara jajahannya di Afrika Timur. Oran dilihat sebagai sebuah kota pelabuhan berwajah kaku, angkuh dan tidak beriak. Perubahan cuaca hampir tidak terkesan di langit. Musim panasnya berdebu, musim luruhnya berlumpur. Masyarakatnya moden dan sibuk mengejar kekayaan. Di situ, muncul Dr. Bernard Rieux yang menjadi watak penting apabila Oran diserang wabak, membuatkan jangkitan merebak dan membunuh ratusan orang. Tikus-tikus dari kapal pedagang yang berlabuh di Oran disyaki membawa wabak dari luar. Oran ditutup, dikenakan perintah berkurung yang ketat, tiada sesiapa yang boleh keluar dan tiada sesiapa yang boleh masuk.\nSatu ketika, Dr. Rieux didatangi seorang pemuda, iaitu Raymond Rambert, seorang wartawan akhbar dari Paris. Rambert terperangkap di Oran ketika datang atas urusan kerja, dan tidak dapat pulang ke Paris untuk bersama-sama kekasihnya. Rambert cuba memujuk Rieux untuk memberikan sebarang sijil atau surat pengesahan yang dapat membantunya keluar dari Oran. Rieux tidak dapat membantu, dan menimbulkan kejengkelan Rambert lalu mengatakan bahawa Rieux bercakap dengan bahasa logik dan bukan bahasa jiwa yang penuh empati. Rambert mengatakan yang Rieux hidup dalam dunia yang abstrak. Rambert menambah bahawa benar Rieux menjaga kepentingan umum, tetapi kepentingan umum ialah penjumlahan daripada setiap kepentingan individu. Rieux menasihati Rambert dan mengatakan tiada apa-apa yang boleh dia lakukan.\n\nSetelah itu, mereka berpisah. Rieux berfikir tentang apakah benar dia hidup\u00a0dalam dunia yang abstrak, mengurung seluruh masanya di hospital memerangi wabak sehingga perlahan-lahan dia terpisah daripada realiti, tidak merasai jiwa kegusaran yang menghuni tubuh manusia-manusia di Oran? Dia bertukar menjadi mesin sains dan tidak lagi mempedulikan rasa manusia yang penuh ketakutan. Saat Rieux keluar dan melihat Patung Kebebasan yang berdiri menjadi tugu, Rieux merasakan wabak ini juga adalah suatu yang abstrak. Untuk menentang sesuatu yang abstrak ia memerlukan sesuatu yang dibentuk dari dalam diri sendiri.\n\u00a0\nAbstrak ialah sesuatu yang tidak dapat dirasa, dilihat, disentuh oleh pancaindera. Ia merupakan konsep yang ada dalam fikiran, seperti kecantikan, kesejahteraan dan sebagainya. Ia merupakan kualiti yang berhubungan dengan idea dan bukan peristiwa. Malah dari sisi lain, abstraksi ialah proses mengeluarkan karakter yang utama daripada sesuatu bagi meringkaskannya hanya kepada karakter-karakter yang penting. Dalam Novum Organum (1620), Francis Bacon menghubungkan premis abstraksi dengan persoalan induktif yang membuat ketetapan berasaskan pengalaman, seperti matahari terbit dari timur, maka ketetapannya ialah matahari terbit dari sebelah timur. Maka, pada era Jacobean tersebut, Bacon menyarankan para pemikir perlu lebih berfikir secara deduktif, yakni membuat ketetapan berdasarkan pengumpulan data dan fakta sebelum membuat ketetapan berasaskan andaian umum.\nPemikiran deduktif ini disambut oleh David Hume yang mendebatkan bahawa andaian induktif bukanlah suatu bentuk rasionaliti, sebaliknya hanya budaya yang muncul daripada kebiasaan. Hume menyarankan rasionaliti ialah ketetapan yang berasaskan pengumpulan data yang memungkinkan perubahan fakta, sekali gus melihat rasionaliti sebagai suatu bentuk deduktisme. Hume mewujudkan pemikiran empirikal dalam konteksnya yang tersendiri yang selalunya disebut sebagai empirikalisme Humean. Hume menyatakan kita boleh sahaja membentuk kepercayaan yang berkembang daripada keluasan pengalaman, melalui operasi fakulti seperti budaya, adat, kebiasaan dan imaginasi, tetapi Hume meragukan ia suatu ilmu pengetahuan. Treatise of Human Nature (1739\u201340) Hume diperdebatkan sehingga hari ini.\nCamus menjadikan The Plague (1947) secara tidak langsung atau membayangkan persamaannya dengan Baconian dan empirikalisme Humean. Camus meletakkan wabak dalam The Plague sebagai sesuatu yang perlu dilihat secara empirikal. Terlihat sinikaliti (cynicality) sopan Camus terhadap khutbah paderi Jesuit Father Paneloux tentang bala dari langit. Ia seperti memuati pandangan Hume tentang \u201csebab\u201d ialah hamba pada semangat yang kosong. Rieux ialah watak manusia empirikal yang berpegang pada deduktisme. Maka Rieux tidak melihat wabak tersebut hanya bala dari langit, tetapi sesuatu yang perlu diselesaikan di bumi dengan tangan-tangan manusia yang kelihatan.\nRieux mungkin berfikir apakah dia hanya sebuah mesin sains, tetapi dalam mendepani realiti sebenar, Rieux memang memilih untuk menjadi mesin sains. Pemikiran ini adalah sebahagian daripada bibit absurdisme Camus. Sebenarnya, Camus tidak pernah ada kena-mengena dengan aliran pemikiran Bacon atau Hume. Pengaruh terbesar Camus adalah daripada Nietzsche, Schopenhauer, Kierkegaard, Jaspers, dan Heidegger. Malah, Camus berteman rapat dengan Jean-Paul Sartre. Tetapi, seperti terdapat satu bentuk persamaan fikiran Camus terhadap premis abstrak Bacon dan Hume yang ditimbulkan dalam perbualan Dr. Rieux dengan Rambert.\nPremis abstrak yang dihubungkan dengan persoalan induktisme dan deduktisme sememangnya mencambahkan bibit-bibit absurdisme. Ia muncul dalam cerita tentang wabak. Camus dilihat menggunakan isu wabak untuk mencambahkan pemikiran absurdismenya. Wabak menimbulkan ketidaktentuan dan menjadi malapetaka yang mampu merubah dimensi kehidupan manusia. Sejajar dengan itu, wabak turut mengubah cara manusia berfikir, untuk mengatasi bahaya yang boleh menghapuskan kehidupan manusia. Sekali gus memusnahkan struktur cara fikir lama.\nOran ialah sebuah kota kolonial yang sedang dimamah wabak, yang turut memamah cara fikir lama yang membentuk struktur dan tatacara kehidupan manusia yang sudah tidak terpakai lagi. Maka ia menuntut perubahan kepada cara fikir baharu. Absurdisme Camus tentu bukan penyelesaiannya. Namun wabak tidak mungkin dapat diatasi dengan pemikiran induktif, sebaliknya hanya mampu diselesaikan dengan pemikiran deduktif. Hal ini kerana wabak tidak datang dengan pengalaman sebelumnya. Wabak menghumban manusia ke lubang abstrak, malah absurd. Apabila membaca The Plague, bukan sekadar melihat wabak dan abstraksi, tetapi melihat kemanusiaan yang diuji untuk menemukan kemanusiaan yang baharu.\n_________________________\nS.M. Zakir atau nama penuhnya Syed Mohd Zakir bin Syed Othman dilahirkan pada 4 Februari 1969 di Kota Bharu, Kelantan. Beliau memulakan kerjaya dalam industri media sebelum menjadi penulis sepenuh masa pada tahun 2000. Sepanjang berkarya, S.M. Zakir telah menerima banyak hadiah dan anugerah sastera, seperti Hadiah Sastera Malaysia 1994/1995 bagi kumpulan cerpen Merengkuh Langit (DBP, 1995) dan Anugerah Sastera Negeri Kelantan bagi kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibrail (Pustaka Nusa, 2001), selain Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil, Hadiah Sastera DBP-Maybank, Hadiah Sastera 100 tahun Kuala Lumpur DBP-DBPKL, Hadiah Formula Malaysia, dan Anugerah GAFIM (kritikan filem). Beliau juga telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Muda Mastera 2010 dan penerima SEA Write Awards (Malaysia) 2011." "Deklamasi Sajak Sebagai Kerjaya?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSejak tahun 1987\u20132020, sudah 34 kali Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) menganjurkan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK).\nMaknanya, sudah ada 34 orang juara SDPK sejak Puzi Hadi, juara pertama sehingga yang terbaharu, Mohd. Aqi Mohd. Azmi (2020) dinobatkan. Tidak semua juara SDPK aktif mendeklamasikan sajak dalam acara peringkat kebangsaan, dan negeri. Antara sebabnya termasuk tiada jemputan, kesibukan tugas hakiki, dan telah meninggal dunia.\nSelain Puzi, yang masih aktif mendeklamasikan sajak dalam acara berkaitan ialah Ahmad Shukri Abdullah (juara SDPK 1996). Walaupun dalam kebanyakan penampilan, Puzi dan Shukri melihat teks, tetapi kehebatan mereka sebagai juara SDPK tetap dihargai.\nMenyebut tentang deklamasi sajak, dapatkah kegiatan tersebut menjadi kerjaya di negara kita? Secara peribari, tiada salahnya, selagi tidak menyalahi undang-undang negara \u2013 prinsip keempat Rukun Negara: Kedaulatan Undang-undang. Cuma, memang hal ini sukar untuk menjadi kenyataan. Sebab itulah timbul persoalan: Dapatkah?\nAda kerjaya bererti ada pendapatan, baik kecil atau besar. Jumlah penyajak atau deklamator yang wujud atau berkemampuan juga tidak ramai kerana menulis sajak itu sendiri bukanlah kerjaya sepenuh masa di negara kita.\nPada keseluruhannya, menulis dan mendeklamasikan sajak di negara kita merupakan \u201ckerja\u201d sambilan. Setiap orang ada kerjaya dan bergaji tetap secara bulanan. Anak muda masih bekerja atau belajar. Pesara pula menghadapi kekangan kesihatan dan tenaga akibat peningkatan usia. Namun demikian, tetap menarik jika mendeklamasikan sajak menjadi kerjaya di negara kita. Mungkin ada pihak yang mahu memberikan bayaran kepada deklamator sepenuh masa. Mendeklamasikan sajak, jika kena gayanya, turut menghiburkan.\nJika ada penari kebudayaan yang bergaji tetap secara bulanan dalam Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), mengapa tidak untuk deklamator?\nBeberapa orang penulis berbeza pandangan dalam hal ini. Mamu MK Hasny berpendapat barangkali bilangan dan aura juara SDPK akan hilang kerana semakin kurang mendapat undangan daripada badan-badan tertentu.\nWalau bagaimanapun, Mamu mempersoal tindakan GAPENA terhadap juara-juara SDPK. Beliau tidak menuduh, tetapi merasakan juara deklamator yang beraksi, djemput atas dasar pilih kasih.\nMamu yang menetap di Sitiawan, Perak, membuat kesimpulan yang pendeklamasian sajak tidak akan menjadi kerjaya bergaji bulanan di negara kita kerana Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia mahupun JKKN sendiri tidak menganggapnya penting.\nPenyair veteran dari Kuala Nerang, Kedah, Ahkarim, menganggap idea dan cadangan ini hanya mimpi walaupun tidak salah \u2013 bermimpi itu percuma. Bagi persoalan \u201cdeklamasi sajak sebagai satu hiburan\u201d, Ahkarim mengatakan hiburan boleh membuat keuntungan, dan kini sudah ada banyak unsur hiburan percuma. Namun begitu, beliau bertanya, sejak bila deklamasi sajak itu satu hiburan, dan mengapa kita perlu membayar untuk menontonnya?\nWalaupun kurang yakin, Ahkarim tetap mengatakan mungkin ada orang yang mahu memberikan gaji bulanan kepada deklamator profesional.\nAsimo S pula menganggap cadangan ini tidak salah jika ada ruang atau peruntukan. Baginya, Sasterawan Negara yang masih hidup, turut diberikan elaun bulanan oleh kerajaan.\nDalam hal ini, Asimo menggesa GAPENA dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) untuk menyokong dengan menyediakan imbuhan kepada deklamator-deklamator yang jelas profesional dalam deklamasi. Tambahnya, GAPENA dan PENA juga perlu menyuarakan masalah ini agar mendapat saranan atau teguran. Bukan soal banyak atau sedikit, tetapi hargailah deklamator yang telah mewarnai acara bertaraf kebangsaan di negara kita dengan sepenuh tenaga dan jiwa. Semangat patriotik mereka menjadi contoh kepada semua rakyat Malaysia.\nAsimo juga berharap agar Dewan Bahasa dan Pustaka menjadi institusi penting dan penghubung untuk merintis cadangan ini dengan memberikan sokongan moral dalam bentuk insentif.\nBagi penyar dari Kuala Kangsar, Perak, Al Hisyam, cadangan menjadikan deklamasi sajak sebagai kerjaya bergaji bulanan tidak salah. Walau bagaimanapun baginya, apakah nama jawatan deklamator berkenaan, dan tanggungjawab ini perlu diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia atau Kementerian Komunikasi dan Multmedia Malaysia?\nPelakon teater yang turut menulis sajak, Nizam Yamin turut menyokong idea ini. Cuma, anak kelahiran Batu Pahat ini berpendapat yang pengelasan kerjaya tersebut perlu dilihat dengan lebih terperinci, terutamanya dalam bidang dan tugasan kerja." "Kematian Horison dan Membaik Pulih Jambatan Sastera Malaysia-Indonesia \u2013 Sastri Sunarti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSempena Jubli Emas Dewan Sastera pada tahun ini, kami siarkan kembali wawancara bersama-sama Dr. Sastri Sunarti, editor dalam talian majalah sastera nasional Indonesia pada masa itu, Horison. Majalah sastera ini merupakan majalah \u201cabang\u201d kepada Dewan Sastera. Kemunculan majalah ini pada Julai 1966 di serata toko koran Indonesialah yang turut mencetuskan idea dalam kalangan para karyawan tempatan untuk melahirkan majalah sastera bagi rakyat Malaysia. Wawancara ini pernah tersiar dalam Dewan Sastera Bil. 4 2017.\nDemikianlah, Horison harus menyesuaikan dirinya dengan perkembangan dunia setakat ini.\n\nBerita penutupan majalah sastera terunggul Indonesia, Horison, telah menggegar penulis dan peminat sastera Malaysia. Majalah sastera yang lebih tua daripada Dewan Sastera (DS) dan sudah banyak berjasa mengabadikan nama-nama besar sasterawan Indonesia, termasuk Putu Wijaya, Goenawan Mohamad, Mochtar Lubis, W.S. Rendra, Sapardi Djoko Damono, Sutradji Calzoum Bahri, Taufiq Ismail, dan Budi Darma akhirnya secara rasminya, dihentikan pada 22 Julai 2016. Ikuti temu bual sidang editor DS bersama-sama Dr. Sastri Sunarti, pensyarah, eseis dan pengkritik sastera yang juga isteri Allahyarham Prof. Dr. Amin Sweeney, dan kini menjadi pendukung editor Horison Online.\nDS: Tahun lepas, majalah Horison sudah dihentikan cetakannya dan sudah sepenuhnya menjadi majalah dalam talian. Bagaimanakah Dr. melihat perkembangan ini terhadap dunia sastera Indonesia?\nSastri: Jelas, sastera Indonesia kehilangan satu-satunya majalah sastera yang selama 50 tahun telah konsisten menerbitkan karya sastera di\u00a0tengah\u00a0miskinnya ruang sastera cetak di Indonesia. Selama 50 tahun terbitnya majalah Horison tentu telah memberikan pengaruh yang positif bagi gerakan perkembangan sastera di Indonesia. Pengaruh positif itu sudah menumbuhkan semangat berkarya sekali gus ruang berekspresi dalam kalangan penulis muda\u00a0Indonesia. Namun, karena keterbatasan dana Horison akhirnya harus menghadapi kenyataan untuk menutup produksi cetak. Jelas, dunia sastera Indonesia berasa kehilangan, tetapi Horison sudah menyiapkan antisipasi dengan menyiapkan Horison online atau dalam jaringan sejak tahun 2010 lalu. Idea membuat Horison online digagaskan oleh Almarhum Prof. Dr. Amin Sweeney dan saya. Kami menjalankan Horison online berdua selama setahun karena beliau telah meninggal dunia pada akhir tahun 2010 di Cisarua, Bogor. Horison kehilangan pendukung yang kuat pada masa itu. Tetapi saya dan pentadbir Horison online tetap menjalankan Horison dan tentu saja didukung oleh Pak Taufiq Ismail dan Mas Jamal D. Rahman hingga saat ini. Jadi, sesungguhnya Horison tidak betul-betul hilang daripada peredaran dunia sastera Indonesia karena kami sudah menyiapkan medium penggantinya dalam bentuk majalah digital. Sesuatu yang tidak dapat dinafikan pada saat ini, yakni peralihan medium daripada medium cetak kepada medium internet. Demikianlah, Horison harus menyesuaikan dirinya dengan perkembangan dunia setakat ini. Juga, mengingatkan kelahiran generasi mileneal yang sangat fasih membaca daripada internet alih-alih daripada buku (cetakan), serta harga dan cara mendapatkan karya sastera secara online jauh lebih mudah bagi generasi mileneal ini.\nDS: Adakah terdapat banyak perbezaan antara kandungan Horison di alam maya dengan cetak? Saya sedari, bahan kandungannya pun boleh dibaca secara percuma.\nSastri: Perbezaan isi antara Horison cetak dengan online sesungguhnya hanya terletak pada jumlah isi yang lebih leluasa di Horison online daripada Horison cetak. Namun, karena Horison online masih kekurangan dana, kami masih belum dapat memberikan honorarium kepada keseluruhan penulisnya. Honorarium hanya dapat diberikan setakat ini kepada penulis yang sudah senior dalam hal pengalaman bidang, terutama jika kami meminta mereka menulis secara khusus. Jika nanti kami berkembang dengan baik mungkin kami bisa mengandalkan iklan untuk membantu membayar honorarium para penulis secara keseluruhan.\nDS: Daripada berita sedih ini mungkin elok beralih pada sesuatu yang lebih positif, lebih-lebih lagi dengan impak sastera Indonesia setelah berjaya menjadi tamu kehormat Pesta Buku Frankfurt.\nSastri: Ya. Banyak sekali yang baru berlaku di dunia sastera Indonesia saat ini, seperti tumbuhnya kantung-kantung sastera dan penulis muda di berbagai daerah karena keterbukaan informasi dan kehadiran internet yang memudahkan komunikasi dalam kalangan para penulis. Sebagai contoh, dulu, kantung sastera hanya banyak tumbuh di wilayah barat Indonesia, seperti Sumatera dan Jawa. Namun, sekarang kita dapat menemukan kelompok penulis Flobamora, yakni perkumpulan penulis muda dari Nusa Tenggara Timur yang dipisahkan oleh pulau-pulau seperti pulau Flores, Timor dan Alor.\nMereka melahirkan penulis muda yang berbakat seperti Mario F. Lawi yang berhasil mencuri perhatian publik sastera nasional karena gaya pengucapan puitis dan stilistika yang berbeza daripada gaya penulis Jakarta. Mario sememangnya dapat menjadi representasi penyair muda yang berhasil daripada komuniti Flobamora. Sajak-sajaknya yang sering dimuatkan oleh Kompas Minggu sangat banyak menggambarkan dunia jiwa penganut Katolik Kupang yang unik jika dibandingkan dengan penganut Katolik Jawa seperti Joko Pinurbo atau Ayu Utami. Jadi, dunia sastera Indonesia tidak lagi hanya berkembang di pusat kebudayaan Salihara atau Jogja saja.\nSeorang lagi yang boleh diikuti ialah Mezra E. Pellandoe. Mezra seorang pengarang wanita yang rajin menulis cerpen, novel, puisi dan juga drama. Selain itu, ada pengarang senior dari daerah ini seperti Gerson Poijk dan Umbu Landu Paranggi, walaupun kedua-duanya membesar di luar Nusa Tenggara Timur dan tidak lahir daripada komuniti Flobamora.\nDS: Sejauh manakah uniknya sastera Flobamora?\nSastri: Pertama, secara tema, karya sastera yang lahir daripada komuniti Flobamora mengusung isu sosial yang agak berbeza daripada isu karya sastera dari Jawa, Bali dan Sumatera. Perbezaan itu terletak pada isu dampak sosiopolitik peristiwa pemisahan Timor Leste dengan Indonesia. Tema begini kita jumpai terutama pada beberapa karya awal yang muncul dalam komuniti ini sekitar tahun 2000-an. Beberapa pengarang senior Indonesia, seperti Seno Gumira Ajidarma memang pernah menulis konflik sosial dan politik di Timor Leste dalam cerpennya, tetapi karya itu terhasil dari sudut pandang \u201corang luar\u201d yang tentu berbeza jika ditulis oleh penulis yang merupakan mangsa dampak pemisahan kedua-dua negara itu; orang Timor Leste yang harus memilih menjadi warga Indonesia atau menjadi warga Timor Leste, disintegrasi atau bergabung dengan Indonesia. Nah, orang yang memilih bergabung ini kemudian menetap di daerah perbatasan di antara Indonesia dengan Timor Leste yang pada masa-masa awal penggabungan itu mengalami trauma psikologi akibat perang dan juga kehidupan sosioekonomi yang getir. Beberapa karya yang mengupas kisah orang Timor Timur yang memilih untuk bergabung ini ternyata banyak mengilhami beberapa karya yang menurut saya sangat kaya dari sisi pergelutan psikologi dan imej sosiobudaya yang karakter manusianya sama sekali berbeza daripada Melayu di Jawa, Bali, apatah lagi di Sumatera.\nKedua, dialek bahasa Indonesia-Kupang atau Indonesia Timur yang sangat unik ikut mewarnai gaya bahasa penulisan karya sastera komuniti ini, seperti memendekkan kata dalam bahasa Indonesia baku. Kata \u201csudah\u201d menjadi \u201csu\u201d, \u201cpergi\u201d menjadi \u201cpi\u201d, \u201ckita orang\u201d menjadi \u201ctorang\u201d, dan sebagainya. Atau sapaan gelaran khas kepada orang yang dihormati di daerah Kupang, seperti \u201cNona\u201d untuk gadis muda, \u201cMama\u201d untuk ibu-ibu, dan \u201cBapa Tua\u201d untuk laki-laki dewasa atau yang dituakan.\nKetiga ialah latar budaya dan agama. Latar budaya dan agama yang mewarnai penyair dari dusun Flobamora sama sekali berbeza daripada latar budaya penulis Indonesia dari Jawa dan Sumatera yang dominan Muslim. Di sana, penulisnya dibesarkan dalam latar agama Katolik mahupun Kristian Protestan yang kental. Pendidikan gereja sangat mewarnai karya-karya pengarang muda daripada komuniti ini.\nDS: Siapakah yang mencipta istilah \u201cFlobamora\u201d itu?\nSastri: Istilah Flobamora berasal daripada singkatan nama pulau di Nusa Tenggara Timur; Flores, Timor dan Alor. Istilah ini dicetuskan oleh para pendiri komuniti ini, seperti Mezra E Pellandoe. Alam laut dan daratnya yang indah dan kaya yang cenderung dirosakkan oleh pembangunan dan pengumpulan bahan mentah merupakan pesona tersendiri bagi provinsi Nusa Tenggara Timur. Alamnya agak berbeza sedikit daripada Papua yang kaya dengan hutan tropika, tetapi memiliki ciri linguistik dan fizik daripada rumpun bukan Austronesia. Malah, karakter dan ciri fizikal mereka amat jelas berbeza daripada orang Jawa, Makassar, Bali, Sumatera, bahkan Kalimantan.\nSaya kira semangat kajian sastera serantau tidak cukup hanya dengan menerbitkan karya sastera secara konvensional mahupun dalam talian sahaja. Tetap diperlukan suatu usaha promosi yang lebih rancak agar minat secara serantau dapat ditumbuhkan.\nDS: Dengarnya, banyak penerbit indie (mandiri) yang tumbuh bak cendawan di Indonesia. Menariknya, penerbit-penerbit ini semacam mahu cuba menjentik pasaran perdana yang dimonopoli oleh Gramedia.\nSastri: Keberadaan Gramedia yang \u201cmenggurita\u201d serta mengambil untung besar untuk perusahaan, tetapi memberikan keuntungan kecil bagi pengarang memang mulai digugat oleh penulis Indonesia. Para penulis sekarang bersekutu dengan penerbit indie yang lahir daripada persahabatan, perkumupulan sasterawan dan penulis di kumpulan Facebook. Dari sana, mereka membangunkan jaringan penulis, penerbit dan pembaca yang kebanyakannya berasal daripada kalangan sesama pengarang juga. Meski kesannya peredaran buku mereka hanya terbatas dalam kalangan kelompok itu-itu juga, tetapi mereka berhasil menerbitkan buku dengan harga yang lebih murah dan mendapatkan keuntungan penjualan secara langsung tanpa harus melalui perhitungan rabat yang kecil daripada penerbit besar semacam Gramedia. Kewujudan penerbitan alternatif ini membuatkan produksi karya sastera tidak mandek (terhambat) dan dapat berjalan terus. Hanya sekarang, karya sangat banyak, tetapi kritikan yang baik terhadap karya yang banyak ini belum terjadi di Indonesia. Ertinya, karya sudah melimpah tetapi kritikan sasteranya miskin. Hal ini berbahaya juga bagi mutu kesusasteraan jika tidak ada kontrol bagi penerbitan karya yang bermutu, yakni melalui kritikan sastera.\nDS: Ada sarjana Indonesia dari Leiden baru-baru ini berasa risau dengan keadaan lambakan buku Indonesia separa ilmu-pop di lapangan terbang serata Indonesia jika dibandingkan dengan pameran buku di lapangan terbang antarabangsa di bandar-bandar utama Eropah.\nSastri: Nah, kenyataan saya tadi tidak terlepas daripada hukum pasar perdagangan buku yang memang laris manis dengan jenis buku yang anda maksudkan. Namun, menurut saya, setiap pasaran buku memiliki segmen pembacanya yang tersendiri. Jika ingin mencari karya sastera yang bermutu jangan dicari di lapangan terbang, carilah di pasar buku Jogja atau di Cak Tarno di Gang Kober Universitas Indonesia. Bukunya bermutu dan harganya murah.\nDS: Mengapakah pensyarah universitas dan pengkritik di Indonesia sudah berhenti meneliti karya Malaysia, jika dibandingkan dengan era HB Jassin dan A. Teeuw dahulu?\nSastri: Pertanyaan ini juga sudah banyak dilontarkan oleh pengkaji sastera Indonesia sendiri. Pokok permasalahannya menurut saya ialah jarang sekali buku karya sastera Malaysia yang bisa diperoleh dengan mudah di Indonesia. Inilah yang gagal digiatkan oleh ASEAN yang hanya mengandalkan perdagangan dan perekonomian, tetapi lupa memajukan dan mengenalkan karya antara negara ASEAN sendiri. Peran ini seharusnya dilakukan oleh Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), Perhimpunan Sastera Budaya Negara Serumpun (PSBNS) atau Numera, perkumpulan sasterawan di ruang lingkup ASEAN. Jadi, tidak hanya sasterawannya yang berkumpul, tetapi juga para kritikus dan pengkajinya juga harus saling berkongsi ilmu dan saling membicarakan karya dari negara masing-masing. Jangan seperti MASTERA yang pengkritik dari Indonesia hanya membicarakan karya Indonesia sahaja. Idealnya ialah, kritikus sastera Indonesia membicarakan karya sastera dari Malaysia atau negara ASEAN yang lain. Dengan demikian, publik dari negara ASEAN masing-masing mulai mengenal karya sastera dari negara anggota ASEAN yang lain. Harus ada ruang untuk membicarakan karya sastera antara negara ASEAN ini dan harus dimulai. Jika tidak, kita tidak akan saling mengenal budaya dan perkembangan sastera di rantau ini.\nDS: Mengapakah pasaran sastera ASEAN masih kelihatan berpagar-pagar, sedangkan kita sudah mempunyai platform jualan dalam talian yang sudah melangkau sempadan fizikal konvensional?\nSastri: Saya kira semangat kajian sastera serantau tidak cukup hanya dengan menerbitkan karya sastera secara konvensional mahupun dalam talian sahaja. Tetap diperlukan suatu usaha promosi yang lebih rancak agar minat secara serantau dapat ditumbuhkan. Daya usaha untuk menjambatani pengenalan karya sastera Malaysia di Indonesia contohnya, perlu sekali dilakukan agar publik luas di Indonesia mengenal karya sastera Malaysia, seperti popularnya francais Upin dan Ipin di Indonesia. Mengapa kita tidak belajar daripada promosi budaya ala Upin dan Ipin yang sukses melakukan penetrasi budaya melalui media audio visual, sehingga kendala bahasa Melayu seperti yang dikeluhkan oleh sebahagian orang Indonesia mungkin dapat diatasi sekiranya promosi itu lebih gencer dilakukan? Usaha-usaha promosi sebegitu mungkin dapat ditempuh dengan membicarakan karya sastera Malaysia di pusat-pusat sastera seperti Salihara di Jakarta, Bandung, Jogja, atau ke kota-kota seperti Padang, Medan, Makassar dan Denpasar. Atau, laksanakan pembicaraan karya sastera Malaysia di kampus-kampus sastera atau fakultas ilmu budaya di Indonesia dan pertemuan sastera serantau. Jelas, pelaksanaan ini masih minimum.\nBaik karya sastera Indonesia mahupun karya sastera Malaysia setakat ini hanya dikenali oleh segelintir masyarakat sastera di kedua-dua negara. Namun, penyebab utama kurangnya minat terhadap karya sastera ialah tidak berdayanya kritikan sastera mutakhir. Hasil kritikan sastera yang kecil ikut menghambat pengenalan karya sastera itu sendiri. Karya begitu banyak, tetapi pembahasnya amat sedikit. Ditambah pula dengan sedikitnya ruang kritikan sastera di media, khususnya surat khabar dan jurnal kritikan sastera sedia ada. Rintangan psikologi saya kira juga patut diperhatikan, yakni sentimen terhadap sikap sebahagian rakyat Malaysia terhadap pekerja imigran Indonesia ke Malaysia yang ikut menimbulkan ketidakpercayaan publik sastera Indonesia terhadap Malaysia. Sikap seperti ini harus disingkirkan karena tidak sihat dan tidak mendidik, dan saya kira jalur budaya seperti sastera dapat menjadi jambatan yang baik untuk memulihkan rintangan psikologi ini. Sebagaimana berhasilnya Upin dan Ipin dengan loghat Melayu Malaysia yang kental memukau penonton Indonesia tanpa mempermasalahkan adakah tontonan itu milik Malaysia atau Indonesia.\nDS: Apakah reaksi Dr. akan kehadiran E-Sastera dari Malaysia dengan percubaannya melancarkan beberapa program dan buku sastera di Indonesia?\nSastri: Kehadiran E-Sastera menjadi kenescayaan pada zaman yang dikuasai oleh sistem maklumat seperti saat ini. Seperti yang sudah saya sampaikan sebelum ini, bahawa anak muda kita belajar sastera dan menulis karya sastera melalui internet dan tidak lagi membaca buku atau majalah bercetak. Saya kira, perkembangan ini harus direbut oleh pengayaan pembacaan sastera dan isi kandungan yang bermutu, salah satunya sudah tentu melalui E-Sastera. Tetapi juga, harus kaya dengan visual yang menarik minat pembaca muda. Alih wahana karya sastera saya kira juga menjadi salah satu cara menumbuhkan minat generasi muda kepada sastera yang bermutu.\nSayang, saya belum mengamati dengan adil saksama akan karya dan sepak terjang Dr. Irwan Abu Bakar ini, kecuali sedikit berita bahawa beliau sudah mulai melakukan pertunjukan di Banten dan pondok pesantren. Hal ini suatu usaha yang baik, tetapi tetap belum cukup. Harus lebih banyak usaha promosi yang harus dilakukan oleh pihak Malaysia untuk mempromosikan karya sasteranya. Nama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) sudah dikenal baik dan bergengsi di Indonesia. Saya kira ITBM lebih gencar melakukan promosi di Indonesia dan tidak hanya di Pulau Jawa, tetapi juga sampai ke Timur Indonesia jika perlu. Malah, saya pernah menulis satu kritikan terhadap novel Dia dan Nya karya Sutung Umar RS (Allahyarham) yang saya peroleh ketika pameran buku ITBM di Jakarta. Tulisan itu dimuatkan dalam jurnal Rampak Serantau, Bil. 23 2016. Tetapi usaha itu juga belum cukup karena diterbitkan di Negara Brunei Darussalam. Lebih elok jika kritikan terhadap karya Bang Sutung itu dapat dimuatkan dalam media di Indonesia.\nDunia Melayu memiliki penulis sekaliber Shakespeare yang mungkin belum dilihat oleh para \u2018orang-orang tua\u2019 yang menjadi juri di Stockholm, tempat Nobel Kesusasteraan ditasbihkan.\nDS: Kiranya, E-Sastera juga sahabat maya Horison Online juga, memandangkan E-Sastera mempunyai ruang web yang dibuka untuk kiriman dan penyiaran karya dalam talian.\nSastri: Ya, tentu saja, barangkali kita bisa membuat pautan bagi kedua-dua media dalam talian ini agar ketika pembaca kedua-dua media ini bisa saling membuka pautan itu di web masing-masing. Saya akan bicarakan dengan tim redaksi lainnya dan saya kira Pak Taufiq Ismail dan Mas Jamal D. Rahman akan setuju dengan gagasan ini.\nDS: Dr. dan Allahyarham Amin Sweeney tentu sudah melalui pelbagai cabaran dunia sastera. Apakah yang paling manis?\nSastri: Hmm, banyak hal manis daripada beliau jika itu menyangkut kecintaan pada dunia sastera Melayu, tidak kira Malaysia ataupun Indonesia. Dia seorang sarjana yang sangat mencintai bidangnya. Malah, militan pada bidang ilmunya untuk mengkaji sastera Melayu-Indonesia. Beliau berpesan bahawa jangan rendah diri dengan sastera Eropah karena sastera Melayu memiliki keunggulannya yang tersendiri. Jangan menghamba pada penghargaan Hadiah Nobel Kesusasteraan dan berkecil hati jika sekiranya hingga hari ini karya sastera dunia Melayu belum mendapatkan penghargaan elit itu karena nilai-nilai para jurinya tentu berbeza daripada nilai-nilai yang terdapat dalam estetika dan sastera Melayu.\nDunia Melayu memiliki penulis sekaliber Shakespeare yang mungkin belum dilihat oleh para \u201corang-orang tua\u201d yang menjadi juri di Stockholm, tempat Nobel Kesusasteraan ditasbihkan. Bagi Amin Sweeney, retorik sastera Melayu memiliki kecanggihan yang tidak kalah hebat jika dibandingkan dengan retorik sastera Eropah yang agung itu. Pusat pengkajian sastera Melayu harus tumbuh dan berkembang di tanah Melayu dan bukan di pusat pengkajian sastera di Eropah seperti di Leiden atau di London, dan mungkin kini di Jerman.\nDS: Apakah antara wasiat terakhir Amin Sweeney kepada sastera Indonesia yang Dr. terima daripadanya?\nSastri: Wasiat terakhirnya buat sastera Indonesia ialah hasil penterjemahannya terhadap keseluruhan karya lengkap puisi Taufiq Ismail ke dalam bahasa Inggeris, dan untuk itu Pak Taufiq sangat berterima kasih dan terharu. Sebetulnya, Pak Ajip Rosidi juga sudah menghantar karyanya untuk diterjemahkan oleh Cik Amin kita ini. Tapi sayang, maut lebih dulu menjemputnya." "OKU, Pandemik dan Sastera dalam Dunia Digital\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nWabak COVID-19 terus melanda, namun penulis tetap menulis. Fudzail meneliti perubahan dan perkembangan ketara sastera digital dari sisi kelebihan orang kurang upaya dan fenomena maya yang dibawanya.\nKemajuan media sosial yang rencam dan pelbagai dalam dunia global sebebarnya mampu menyemarakkan kesusasteraan secara amnya.\nPandemik COVID-19 yang berlaku buat masa ini menjejaskan kehidupan di seluruh dunia, tidak kira siapa dan statusnya. Baik di sektor awam dan swasta, mahupun dunia sastera dan perbukuan. Termasuklah orang kurang upaya atau OKU yang selama ini tidak dipedulikan, malah terus terpinggir.\nDalam hal ini, kita tidak perlu menyalahkan sesiapa kerana wabak ini yang terjadi di Wuhan, China, telah menyerang ke merata tempat walau di Antartika. Warga dunia perlu menanganinya dengan sabar dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan.\nSastera Era Pandemik\nDengan platform digital, aksesnya kini hanya di hujung jari sahaja untuk maklumat dan bahan sastera di internet.\nPerkataan \u2018sastera\u2019 berasal daripada kata bahasa Sanskrit, \u2018sastra\u2019, yang bermaksud \u201ckitab suci\u201d. Kesusasteraan pula membawa maksud penghasilan sastera yang disampaikan melalui tulisan, pembacaan, pendengaran dan lisan.\nSastera ialah bidang seni kreatif yang menggunakan bahasa untuk berkomunikasi. Sastera sudah bermula sejak tradisi lisan muncul dalam masyarakat dan terus berkembang kepada penulisan, mengikut peredaran zaman. Terkini, sastera beralih kepada platform digital, iaitu internet dan media sosial. Bahkan akhir-akhir ini, sewaktu wabak COVID-19 berleluasa dan masyarakat perlu berkurung di dalam rumah, media sosial menjadi tarikan utama bagi pengguna internet mengisi masa lapang. Malah, Malaysia merekodkan jumlah penggunaan internet kedua tertinggi di dunia sewaktu tiga hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lepas.\nSememangnya, platform digital atau maya telah membawa perubahan dan perkembangan yang cukup besar dalam urusan media massa. Antara ciri biasanya termasuklah dapat diakses dengan mudah serta cepat dan boleh ditulis, dibaca dan didengar (jika berbentuk buku audio atau audio siar [podcast]) di mana-mana sahaja dengan telefon pintar yang juga semakin canggih dan nipis bentuk fizikalnya.\nItulah kelebihan bagi seorang (pengguna) OKU yang mungkin tidak dapat menikmati kemudahan yang sama seperti orang biasa yang cukup sifatnya. Dengan platform digital, aksesnya kini hanya di hujung jari sahaja untuk maklumat dan bahan sastera di internet. Malah, perkembangan platform ini terus meluas, khususnya dalam aplikasi (disebut sebagai Apps) permainan dan media sosial (seperti Tik Tok) yang terus melalaikan pengguna.\nManfaat OKU dalam Sastera Digital\nAplikasi sebegini amat sesuai untuk OKU yang mahu bergiat dalam bidang sastera dan ingin karya-karyanya dibaca oleh massa.\nKemajuan media sosial yang rencam dan pelbagai dalam dunia global sebebarnya mampu menyemarakkan kesusasteraan secara amnya. Pada tahun 2021, ramai penulis yang sudah menggunakan media sosial sebagai platform yang cukup berkesan, terutamanya dalam penerbitan e-buku. Saya sendiri, sudah berjaya menghasilkan dan memasarkan karya sastera dalam platform digital bagi mendekatkannya kepada masyarakat.\nDalam hal ini, aplikasi Wattpad menjadi batu loncatan terbaik bagi penulis menghasilkan karya-karya hebat tanpa perlu bergantung pada para penerbit konvensional. Malah, sudah ramai penulis yang telah popular melalui Wattpad. Penulis-penulis ini tidak mengenal peringkat umur dan latar belakang pendidikan. Kemunculan Wattpad memberi galakan untuk mereka mencurah bakat secara berterusan.\nMungkin aplikasi sebegini amat sesuai untuk OKU yang mahu bergiat dalam bidang sastera dan ingin karya-karyanya dibaca oleh massa. Sehingga kini, karya-karya sastera Malaysia masih lagi bergantung pada penerbitan konvensional, seperti Dewan Sastera yang kini sudah diterbitkan secara dalam talian.\nKarya sastera dalam talian pun bukanlah sesuatu yang baharu dan segar. Karya terbitan sebegini sebenarnya sudah bermula pada akhir 1990-an apabila terdapat penulis blog peribadi yang menghimpunkan karyanya untuk diterbitkan sebagai buku fizikal, baik dalam genre novel, cerpen, esei, mahupun puisi. Kini, ada pula sasterawan dan penyair yang menggunakan YouTube untuk bersajak dan berpuisi. Di Facebook sahaja, sudah banyak nama pena dan \u201cavatar\u201d yang muncul untuk mempromosi karya dan bakat demi capaian dan sambutan warganet.\nDalam hal ini, Media sosial mempunyai kelebihan kuasa hebahan dan penyebaran karya sastera. Malah, karya sastera di internet sudah mula dijejaki oleh peminat sastera di seluruh dunia. Namun begitu, terdapat juga kekurangannya. Kebiasaannya, akses media sosial adalah percuma walaupun mempunyai puluhan ribu peminat.\nSudah tentu dalam hal ini, baik penulis biasa atau penulis OKU, tidak mungkin mampu terus menulis tanpa menghiraukan kewangan. Sudah tentu dalam kehidupan seharian OKU yang sukar dan rumit untuk bergerak bebas tidak akan mampu untuk terus berkarya dalam media sosial selama-lamanya.\nOleh itu, terdapat sinar yang terang apabila terdapat beberapa penerbit yang berminat untuk membukukan karya yang tersiar dalam aplikasi Wattpad. Malah, karya-karya ini akan dipasarkan secara terbuka.\nMalah, dengan kemunculan platform digital pada alaf ini, telah menyuntik nafas baharu untuk dunia sastera terus relevan dengan dunia yang melangkah masuk ke era Revolusi Perindustrian 4.0.\nOleh sebab pandemik ini masih melanda negara, kita mungkin tidak dapat menyangkal akan muncul pula sastera pintar (dengan penerokaan baharu kecerdasan buatan dan alogoritma) pada masa akan datang. Malah, mungkin sahaja kemunculannya dipercepatkan kerana hakikat keadaan dunia sekarang. Bagaimanakah pula bentuknya dan adakah prakarsa baharu ini akan mengancam penulis sedia ada? Hanya masa yang dapat menentukan.\n_________________________\nFudzail atau nama penuhnya, Mohd Fudzail Mohd Nor pernah bermastautin di Emiriah Arab Bersatu selama 18 tahun. Beliau pernah bekerja di TV3 dan menjadi usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Karyanya pernah tersiar dalam Dewan Sastera, Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan BH Ahad. Beliau juga merupakan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan." "Sorotan dan Saranan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSempena Jubli Emas Dewan Sastera pada tahun ini, kami siarkan kembali esei sorotan khas Faisal Tehrani tentang perjalanan dan perkembangan Dewan Sastera 30 tahun yang dahulu, dari era Keris Mas sebagai Ketua Pengarang pertamanya sehinggalah Rozninah Abd. Azib menduduki kerusi editorialnya. Esei ini pernah tersiar dalam Sisipan Khas Dewan Sastera Januari 2001 sempena sambutan 30 tahun Dewan Sastera (1971-2001). \n\u00a0\nSemasa Usman menjadi pengarang majalah ini pada tahun 1979, mutu karya benar-benar tinggi. Sebahagian besar karya yang tersiar di Dewan Sastera waktu itu kelak akan menjadi semacam \u2018karya klasik\u2019 yang unggul dibaca hingga hari ini.\nDewan Sastera sudah menempuh usia 30 tahun. Dalam usia sedewasa ini, wadah sastera yang unggul ini harus diberi peluang untuk melakukan muhasabah diri dan menilai semula bentuk dan acuan yang paling munasabah untuk menempuh cabaran dan ragam sastera mendatang. Bentuk dan hala tuju yang lama perlu difikirkan semula kerana tidak semua dapat dijadikan rujukan oleh sebab kesesuaian untuk zamannya sahaja. Oleh sebab sastera itu bersifat dinamik dan sering bergerak dan kita pula mahu kesusasteraan bangsa Malaysia benar-benar maju seiring dengan pembangunan sains dan teknologi, Dewan Sastera yang sekian lama menampung penat lelah sasterawan tanah air mesti mencetuskan sesuatu yang lain, sesuatu yang besar, dan memberi kesan untuk satu tempoh lagi.\nMajalah ini terbit pada bulan Januari 1971 dengan impian untuk mengisi perkembangan sastera negara. Dewan Sastera sudah berfungsi untuk menampung karya kreatif. Kata Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka waktu itu, (Datuk) Hassan Ahmad, \u201cDi masa-masa yang lepas selalu kita dengan sungutan tentang kurangnya kesempatan penampungan karya-karya kreatif, terutama karya yang dihasilkan oleh generasi penulis-penulis muda hari ini. Saya berharap majalah Dewan Sastera ini sedikit sebanyaknya akan dapat mengurangkan kekurangan tersebut. Selain daripada ini Dewan Sastera akan cuba sedapat-dapatnya menggambarkan nilai-nilai sastera Melayu moden hari ini dalam bentuk yang dapat dipertanggungjawabkan\u201d (Dewan Sastera, Januari 1971).\nKeris Mas, selaku pengasas dan Ketua Pengarang yang pertama, menjelaskan bahawa \u201cDewan Sastera ingin memaparkan segala aliran kesusasteraan, baik yang mengusap perasaan mahupun yang menggugat pemikiran\u201d. Selain itu, Keris Mas mengingatkan \u201ckuantiti tidak dapat kami selesaikan dengan hanya penerbitan sekecil ini, tetapi kualiti akan kami cuba mencapai setinggi mungkin .\u201d\nJelas bahawa peranan Dewan Sastera pada awal penubuhannya lebih untuk menjana pertubuhan karya kreatif, mengembangkan bakat kesusasteraan, menanamkan sifat kemanusiaan menerusi alat kesusasteraan sambil mendidik masyarakat supaya dekat dengan sastera kebangsaan. Meskipun sama semua hal itu belum benar-benar dipenuhi, Dewan Sastera harus bergerak pula dengan tujuan dan matlamat yang lebih terkehadapan. Cabaran alaf baharu untuk memperkasa sastera bangsa Malaysia bagi benar-benar sihat dan berdaya juang tinggi menempuh segala mehnah dan tribulasi mesti ditampung oleh Dewan Sastera. Usia 30 tahun bermakna satu tempoh yang begitu kritikal bakal dilanjut dan ditempuh lagi.\nDewan Sastera mesti diperhatikan bukan sahaja pada perubahan harganya, daripada harga 50 sen senaskhah suatu waktu dahulu atau terbitnya pada setiap pertengahan bulan, tetapi dilihat penuh halus pada kematangan yang pernah ada dan biarlah dibaur dengan cambahan idea dan buah fikiran baharu untuk mengayakan majalah ini. Ada beberapa hal yang patut dipelajari semula oleh Dewan Sastera daripada dirinya yang lama itu. Oleh sebab sumpah pertama Keris Mas untuk memastikan kualiti karya yang tersiar begitu bulat, tidak begitu menghairankan editor setelah itu juga begitu cekal mempertahankan mutu dan kredibiliti bahan.\nSewaktu Keris Mas, Baha Zain, dan Usman Awang memimpin Dewan Sastera, pengisian majalah ini amat dipelihara dan pemilihan karya sangat diwaspadai. Hasrat majalah waktu itu juga amat jelas, iaitu menambahkan pendengaran dan penglibatan sasterawan kita. Karya terjemahan yang kuat, termasuk naskhah drama, begitu licik disiarkan. Gunanya supaya karyawan tempatan mendapat manfaat daripada bacaan luar itu dan mampu berkarya segah itu.\nPertikaian tidak pula berlaku tentang sebab penulis yang sama asyik memenuhi Dewan Sastera kerana memang semua akur betapa Dewan Sastera merupakan \u2018universiti\u2019 untuk menjadi penulis mapan. Untuk masuk \u2018universiti\u2019 tidak semudah itu, harus melalui tangga sekolah rendah dan sekolah menengah yang penuh liku.\nKeris Mas menampilkan istilah kesusasteraan pada halaman belakang majalah ini, yang dapat difikirkan semula kewujudannya kerana ilmu yang tersalur di situ begitu besar. Namun, kekurangan majalah ini waktu itu ialah esei seputar seni catan dan seni teater bercampur aduk, mungkin kerana Dewan Budaya belum bertunas lagi. Seperkara lagi, terlalu banyak lambakan karya penulis Indonesia, yang pada waktu itu dapat dikatakan sasterawan Malaysia masih terlalu \u201cmengabangkan\u201d kesusasteraan Indonesia. Fenomena membiarkan karyawan Indonesia bercambah dalam majalah ini bukanlah sesuatu yang agak baik kerana mengecilkan peluang karyawan tanah air. Elok kiranya hasil karya penulis nasional terlebih dahulu diberikan hak siaran kerana kesusasteraan Malaysia sudah dapat berdiri dengan sendirinya. Apatah lagi apabila hanya Dewan Sastera sahaja yang terhegeh-hegeh menyiarkan karya mereka sedang karya penulis kita kurang dipedulikan oleh Horison tanpa mengira apa-apa alasan sekalipun yang diberikan.\nSemasa Usman menjadi pengarang majalah ini pada tahun 1979, mutu karya benar-benar tinggi. Sebahagian besar karya yang tersiar di Dewan Sastera waktu itu kelak akan menjadi semacam \u201ckarya klasik\u201d yang unggul dibaca hingga hari ini. Cerpen \u201cSidang Kuching\u201d karya Arena Wati, drama \u201cMayat\u201d tulisan Hatta Azad Khan dan \u201cJangan Bunuh Rama-rama\u201d oleh Noordin Hassan, cerpen \u201cSebuah Pekan Bernama Semporna\u201d hasilan Datuk Abdullah Hussain, telah melalui tangan dan pemerhatian Usman terlebih dahulu. Piawaian Usman terasa amat tinggi, justeru tidak hairan karya yang disaring olehnya menjadi bahan bacaan yang begitu \u201ckuat\u201d hari ini. Bukan itu sahaja, Usman gemar memberikan tumpuan kepada satu-satu karyawan yang dirasakan kukuh dan kejap reputasinya, mereka dijadikan tumpuan dan menghiasi halaman luar majalah. Dan setiap yang terpilih itu hari ini menjadi penulis yang dikenal \u201ckegagahan\u201d mereka. Abdullah, A. Samad Said, Noordin, Latiff Mohidin, Shaharom Hussain, Arena Wati, Adibah Amin, dan Zaharah Nawawi macam telah melalui satu pantauan yang berkesan daripadanya. Dewan Sastera seolah-olah telah menjadi ibu yang mengenal potensi dan membesarkan mereka seperti yang dikenal hari ini.\nDewan Sastera waktu itu sangat bermutu dari segi pengisiannya. Bentuk pimpinan yang sama diteruskan oleh Baha Zain dan jika diperhatikan, penulis yang sama berulang-ulang menghiasi halaman majalah ini mungkin kerana kepentingan mutu karya sangat dijaga. Pertikaian tidak pula berlaku tentang sebab penulis yang sama asyik memenuhi Dewan Sastera kerana memang semua akur betapa Dewan Sastera merupakan \u201cuniversiti\u201d untuk menjadi penulis mapan. Untuk masuk \u201cuniversiti\u201d tidak semudah itu, harus melalui tangga sekolah rendah dan sekolah menengah yang penuh liku. Tersiar walau sekali dalam Dewan Sastera merupakan kebanggaan dan memberikan makna bahawa si penulis sudah memasuki elit sastera yang mantap. Penulis tidak merungut jika karya tidak tersiar dalam Dewan Sastera, sebaliknya diajar berusaha untuk tersiar dalam Dewan Sastera.\nApabila S. Jaafar Husin mengemudi Dewan Sastera, haluannya masih di situ, kehebatan karya tetap dikawal, sentuhan Usman masih terasa kerana beliau ketua pengarang. Perhatian terhadap kajian karya klasik bertambah, kehadiran karya deskriptif, esei, dan kajian akademik begitu terasa, malah Dewan Sastera sanggup mengetengahkan wawancara tentang teori dengan Rene Welleck yang diterjemahkan demi membuka mata sasterawan kita (lihat Dewan Sastera, 15 Mac 1983).\nDewan Sastera kala itu juga membuka peluang untuk penulis sastera Inggeris berkarya secara terkawal. Idea bernas mereka sengaja dituang supaya dapat membuka deria karyawan tanah air. Nama Salleh Ben Joned dan KS Maniam terbit dalam Dewan Sastera, memberikan pandangan dan berpolemik. Tumpuan terhadap sastera Tionghua diberikan perhatian oleh editor (Dewan Sastera, Februari 1974) dengan niat supaya sasterawan tempatan akan dapat mempelajari sesuatu daripada mereka. Berbanding dengan Dewan Sastera hari ini (nota: tahun 2001) yang sedikit tertutup, beberapa tokoh muda sastera Inggeris negara, seperti Amir Muhammad, Karim Raslan, Eddin Khoo, atau Rehman Rashid, tidak pernah diberikan peluang untuk muncul menyatakan pandangan. Barangkali ada satu dua maklumat yang dapat dikongsi daripada mereka dan fikiran akan segar berbahas dengan tulisan mereka kerana kiblat mereka yang berlainan itu.\nDewan Sastera mendapat editor wanitanya yang pertama melalui Salmiah Ismail. Beberapa perubahan dibuat pada kandungan dengan usaha untuk melibatkan lebih ramai sasterawan. Ruangan Pita Sastera, Kegiatan, dan Dokumentasi menghiasi majalah ini. Ada juga peruntukan khas untuk GAPENA menerusi Catatan GAPENA. Dan satu halaman dipelawa kartunis terkenal Lat untuk berkarya. Dewan Sastera terkini barangkali dapat menimbangkan ruangan ini (kecuali kartun) supaya khalayak sastera lebih didekatkan.\nAbdul dan Sutung juga lebih terbuka dalam menerima karya yang sedikit pedas dan kritis. Maka tidak hairan jika ada satu dua cerpen yang kemudiannya menimbulkan kontroversi hingga dibincangkan dalam Asiaweek dan mendapat perhatian setinggi Istana Negara.\nSalmiah membawa sentuhan wanita yang ketara, halaman kulit dan pencorakan muka lebih segar dan menarik. Namun, beliau tidak sahaja menjaga keaslian make-upnya, tetapi masih mempertahankan mutu karya yang tersiar. Dalam satu editorial, Salmiah dengan tegas mengingatkan penulis muda supaya jangan mempertikaikan perulangan kemunculan penulis dan meminta mereka (penulis muda yang gagal tersiar karya mereka dalam majalah ini) supaya segera menguasai ilmu dan memaparkan bakat yang sebenar untuk muncul dalam Dewan Sastera (Dewan Sastera, Mei 1988). Salmiah juga berani menyelar beberapa dasar kerajaan tentang bahasa dan sastera dalam editorialnya tanpa berlapik (lihat Dewan Sastera, Februari 1988). Bahkan jika dikaji editorial setiap editor semenjak Keris Mas, terasa benar isinya dan saranannya, malah kadang-kadang provokatif. Rencana pengarang menjadi tatapan awal dan momentum yang kuat. Buah fikiran editor akan dibincangkan dan paling tidak mencetuskan sesuatu. Hal ini berlaku mungkin kerana bekas editor Dewan Sastera merupakan tokoh sasterawan yang tersohor, seperti Keris Mas, Baha Zain dan Usman. Kenyataan mereka selalu disaring.\nSeiring dengan perkembangan teori sastera tempatan yang begitu subur, Dewan Sastera terpaksa pula menampung bukan sahaja karya fiksyen, tetapi kajian dan makalah teori sastera yang serius. Disiplin kajian sastera yang akademik memerlukan halaman untuk bibliografi dan laras bahasanya yang berat dan berbentuk pelajaran perlahan-lahan memenuhi Dewan Sastera. Nama pengkritik, seperti Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Salleh Yaapar, Noriah Taslim dan Umar Junus, muncul secara lebih selalu. Hal ini lebih dirasai apabila Dewan Sastera berada di tangan Sutung Umar RS dan Abdul Ahmad. Esei dalam disiplin kesusasteraan bandingan diberikan peluang muncul secara kerap dan untuk karya kreatif, kemunculan karya Sasterawan Negara, seperti Arena Wati dan Shahnon, menjadi acap. Abdul dan Sutung juga lebih terbuka dalam menerima karya yang sedikit pedas dan kritis. Maka tidak hairan jika ada satu dua cerpen yang kemudiannya menimbulkan kontroversi hingga dibincangkan dalam Asiaweek dan mendapat perhatian setinggi Istana Negara, Dewan Sastera yang saya kenal waktu ini.\nPertama kali mengulit Dewan Sastera pada tahun 1993, saya kurang memberikan perhatian terhadap pemimpin pasukan editorial majalah sastera ulung ini. Sewaktu itu, puisi dan cerpen pertama saya sudah pernah tersiar dalam majalah biasa dan untuk lebih mengenal dunia sastera, saya memberanikan diri membeli naskhah majalah ini dengan harapan dapat menimba ilmu dan pengetahuan sebanyak-banyaknya. Apatah lagi saya bukan daripada disiplin sastera yang tulen, maka saya menaruh harapan supaya menerusi pembacaan, saya akan matang dan terbantu. Sebagai orang asing dari dunia sastera dan masih mentah, saya agak tergamam kerana isinya berat dan penuh dengan teori sastera yang membebankan. Saya hanya mampu menikmati ruang kreatif secara puas.\nApabila Zaen Kasturi memegang kemudi Dewan Sastara, ruangan editorial menjadi panas. Penulis muda yang ada potensi diberikan lebih peluang, kemunculan sasterawan Indonesia sesekali dirasai. Waktu ini Dewan Sastera sering diserang di halaman sastera akhbar perdana. Siti Zaleha Hashim kemudian kembali memimpin Dewan Sastera dan kritikan terhadap majalah ini aman seketika. Namun, mutu karya majalah ini mulai merosot (berdasarkan rungutan beberapa pengkritik dalam kertas kerja atau diskusi sastera misalnya) dan diberikan perhatian serius oleh beberapa orang pengamal sastera yang terkenal. Namun Siti Zaleha berada dalam keadaan tersepit untuk mempertahankan mutu karya atau membuka lebih ruang untuk penulis muda dan kurang mapan berkarya. Begitu juga era Rozninah Abd. Azib, beliau juga menghadapi dilema yang sama.\nAda satu keistimewaan yang dilakukan oleh Siti Zaleha, iaitu menyediakan ruang untuk sastera kembara, dengan peruntukan ruang kepada Ladin Nuawi. Penulisnya tidak penting, tetapi sastera kembara harus disuburkan dengan baik kerana di Barat, sastera kembara sudah menjadi genre yang begitu kuat dan disiplin baharu yang amat diminati dan dikaji. Begitu juga sastera warkah, surat penulis terkenal dikaji dan didokumentasikan dalam majalah. Seingat saya ketika zaman awal Dewan Sastera, ada ruangan seperti ini. Antara surat yang mendapat tempat termasuklah catatan rasa Siti Zainon semasa menuntut di Indonesia dan coretan kembara A. Samad yang kaya itu. Kalaulah dapat dikembalikan ruangan ini baik juga.\nDewan Sastera di bawah pimpinan Rozninah harus diberikan kredit kerana usahanya menyisipkan sorotan sastera untuk pelajar SPM dan STPM, sekurang-kurangnya untuk menarik khalayak sekolah menengah dan IPT. Sisipan MASTERA dan kesederhanaan isi diutamakan supaya tidak menjauhkan pembaca daripada Dewan Sastera. Majalah ini tidak lagi memakai slogan \u201cPeneroka Sastera Kreatif\u201d tetapi \u201cPenjana Sastera Global\u201d. Fokus sastera antarabangsa diberikan ruang. Semuanya untuk mendidik karyawan tempatan dengan lebih luas. Komposisi genre terasa agak adil dan reka bentuk majalah memikat kerana berwarna-warni.\nDewan Sastera di bawah Keris Mas mempunyai falsafah yang berbunyi \u201cDewan Sastera adalah wahana penulis memaparkan kepada pembaca penerokaannya dalam pengalaman penghidupan yang ditafsirkan sebagai \u2018hakikat kebenaran\u2019 yang disalut dengan keindahan\u201d. Sedang majalah Dewan Sastera kini bersandarkan falsafah \u201cDewan Sastera adalah wahana penulis memaparkan realiti kehidupan yang dijana secara kreatif dan disebarluaskan tanpa sempadan\u201d. Tujuan penerbitan Dewan Sastera kini menjadi lebih rumit dan sofistikated. Majalah ini berperanan untuk membina kesusasteraan berjati diri Malaysia, meluaskan ilmu kesusasteraan terkini sejajar dengan perkembangan teknologi, menampak sifat kemanusiaan yang unggul, memantapkan penerimaan masyarakat terhadap sastera, dan menonjolkan penulis tempatan supaya dapat dilihat dan diiktiraf oleh pihak nasional mahupun antarabangsa.\nSehubungan dengan itu, ada beberapa saranan yang perlu diambil kira. Saranan ini melibatkan tenaga dan kos yang luar biasa, tetapi penting kerana sebagai \u201csesuatu\u201d yang berusia 30 tahun, tahap dan proses penjagaannya akan menuntut sesuatu yang lebih. Beberapa saranan ini mungkinnya sedikit radikal, tetapi perlu.\nPertama, betapa perlunya sebuah majalah (atau jurnal) lain yang khusus memberikan tumpuan kepada makalah akademik, esei teori sastera, dan kajian karya yang terpisah daripada Dewan Sastera. Pada awal kelahiran majalah ini, tuntutan terhadap pengisian sebegini kurang mendesak berbanding dengan sekarang kerana pengkritik tanah air telah matang, perbincangan tentang, misalnya, teori takmilah, teori sastera Islam, atau persuratan baru, begitu menyengat dan memerlukan layanan yang saksama. Pertumbuhan bidang kajian sastera ini mesti diberikan perhatian besar. Dengan ini, Dewan Sastera nanti hanya \u201cbekerja\u201d untuk membesarkan karya kreatif dan sesekali diselangselikan dengan wawancara ilmiah atau satu dua esei yang tidak begitu berat. Dewan Sastera akan kembali mendekatkan masyarakat dengan sastera. Apabila terdapatnya satu wahana baharu bagi disiplin akademik dan kajian sastera, sudah tentulah pembinaan kesusasteraan kebangsaan yang benar-benar mantap akan lebih tercapai. Wahana ini juga berguna untuk menampung jumlah sarjana sastera yang semakin banyak dan kajian sastera yang kian bermutu.\nBiarlah Dewan Sastera kembali berusaha menggilap kematangan dan pembangunan fiksyen itu sendiri. Dalam Seminar Analisis Majalah DBP pada 24\u201325 November 1997, Abu Hassan Abdullah dari Universiti Malaya, dalam sorotan kertasnya berjudul \u201cDewan Sastera: Satu Analisis Kandungan \u2013 Tumpuan kepada Pengisian Karya-karya Deskriptif\u201d, menegur kelemahan pembahagian struktur deskriptif yang bertindan, pemakaian frama yang tidak jelas, dan teks yang terlalu akademik yang mengganggu kelicinan pembaca yang belum begitu mesra dengan sastera. Teks deskriptif juga, katanya, kurang polemikal kerana hambar dan kaku serta kurang mencetuskan sesuatu. Kelemahan ini mungkin dapat diatasi dengan meletakkan kajian ilmiah ini dalam satu wadah lain yang bukan niatnya untuk memencilkan tetapi untuk menyuburkannya lagi.\nMutu pengisian bahan kreatif Dewan Sastera mesti diletakkan semula di tempatnya. Dewan Sastera sekadar contoh mesti kembali ke era Usman dan Baha Zain untuk mempertahankan mutu karya. Dewan Sastera mesti menjelaskan bahawa majalah ini merupakan \u201cuniversiti\u201d dan penulis pula harus akur bahawa untuk menempuhi gerbang menara gading bukannya mudah.\nDewan Sastera mesti menjelaskan bahawa majalah ini merupakan \u2018universiti\u2019 dan penulis pula harus akur bahawa untuk menempuhi gerbang menara gading bukannya mudah.\nUntuk itu, Dewan Sastera mungkin boleh meletakkan syarat, iaitu kematangan dan perkembangan karya serta bakat penulis mesti jelas sebelum dibenarkan melolosi halaman majalah ini. Paling tidak, katakanlah, Hadiah Sastera Perdana Malaysia sebagai kelayakan minimum untuk karya seseorang diterbitkan dalam Dewan Sastera. Pasukan editorial mesti kelihatan adil dan dibantu atau disokong dengan sidang editorial yang lebih luas. Ambil bentuk dan prosedur Horison di Indonesia, beberapa orang penulis mapan pelbagai aliran dan generasi menjadi sidang editorial dan bersama-sama dengan editor serta editor bersekutu setiap bulan, saringan karya harus melepasi piawaian mereka terlebih dahulu. Sidang editorial Horison berbincang dengan begitu kritis tentang kerya yang perlu diberikan peluang. Dan Horison tidak pula terlalu dikritik kerana gagal menyediakan ruang kepada sejumlah penulisnya yang banyak di Indonesia itu. Semua sudah akur, Horison merupakan \u201cuniversiti\u201d dan impian mereka adalah untuk menembusi \u201cuniversiti\u201d tanpa banyak merungut dan lebih berusaha. Saya diberitahu begitu jugalah bentuk penyaringan karya yang dilakukan oleh Kalam (jurnal sastera/budaya yang baharu tetapi bermutu di Indonesia). Dewan Sastera mesti kembali kepada mutu dan piawaian lamanya. Beban ini nanti tidak akan terletak pada editor semata-mata. Untuk itu, sidang editorial mesti dilantik daripada kalangan yang adil dan dipercayai serta melatari pelbagai mazhab sastera supaya tidak timbul lagi kontroversi.\nDi sini nanti timbul pula persoalan tentang \u201csekolah\u201d untuk penulis muda dan baharu. Satu lagi usaha yang mesti digerakkan ialah menyediakan wadah untuk penulis muda. Majalah ini memberikan tumpuan kepada karya penulis baharu dan akan menjadi \u201csekolah\u201d untuk mematangkan karya mereka. Perkembangan penulis ini akan diperhatikan oleh editorial Dewan Sastera dan mereka yang berpotensi dan menunjukkan kualiti yang tidak terhad sahaja akan \u201cdiuniversitikan\u201d pula kelak. Ada kedengaran bahawa sebuah majalah untuk tujuan ini sudah pun dalam perancangan akhir dan diberi nama GEN (nota: bibit-bibit awal sebelum kemunculan Tunas Cipta). Dengan itu, pasukan editor Dewan Sastera tidak perlu pening kepala memikirkan rungutan karya penulis baharu yang tidak tersiar. Mereka akan hanya menumpukan perhatian untuk menjadi gate keeper kepada karya sastera yang paling berkualiti, seperti disumpahkan oleh Keris Mas suatu ketika dahulu.\nYang paling penting tetapi diidamkan ialah hilangnya penaja untuk karya yang tersiar dalam Dewan Sastera. Memang suatu ketika dahulu Maybank menaja karya yang dirasakan paling baik oleh juri, tetapi kemudian hilang begitu sahaja. Memberikan anugerah kepada karya sastera yang paling bermutu yang terbit dalam Dewan Sastera mesti diteruskan, walaupun yang diberikan sekadar trofi dan bukan wang. Trofi atau anugerah itu pula mesti benar-benar bermakna. Pemberian Oscar kepada pelakon terbaik Hollywood setiap tahun, misalnya, tidak berasaskan wang, tetapi merupakan trofi yang amat bererti dan dikenang. Begitu juga anugerah AIM dalam industri muzik tanah air, material bukan soalnya, tetapi tradisi pengiktirafan yang menjadi kebanggaan itulah yang utama.\nBegitulah Dewan Sastera membesar dan perubahan ini dikira perlu untuk membesarkannya lagi supaya bertahan lebih daripada 30 tahun lagi. Dalam dunia moden dengan kegilaan pada teknologi menjadi sembahan aula, Dewan Sastera mesti cekal dan kuat menempuh badai alaf baharu yang menggugah. Jika kita benar-benar berhasrat untuk melihat pembinaan kesusasteraan nasional yang utuh dan dikenal hingga peringkat antarabangsa, Dewan Sastera harus menilai diri, kemudian memilih formula lama yang bererti dan dipatikan bersama-sama dengan unsur baharu yang anjal supaya keunggulan wadah sastera yang diimpikan kemajuannya oleh sejumlah tokoh lama, termasuk Keris Mas, akan terus menjadi reatili.\nDewan Sastera dengan suntikan harapan daripada angkatan baharu akan lebih segar dan terus mantap supaya dapat menjana sastera secara global.\n_________________________\nFaisal Tehrani atau nama sebenarnya Mohd. Faisal Musa dilahirkan di Kuala Lumpur pada 7 Ogos 1974. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jalan Dato\u2019 Palembang dan Sekolah Menengah Sultan Muhammad, Melaka. Kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Kelang. Beliau memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang syariah politik dari Universiti Malaya. Faisal memenangi banyak hadiah sayembara sastera, termasuk Hadiah Sastera Siswa DBP-Bank Rakyat, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Drama Berunsur Islam, dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Karya terbaharu beliau ialah novel Profesor (Fixi, 2017), kumpulan esei Sastera adalah Makanan Anjing (Gerakbudaya, 2021), dan penerokaannya dalam dunia novel grafik, Fatah dan Farah, yang disiarkan secara bersiri." "Baca Puisi Bumbung Sambut Hari Puisi Sedunia 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSasterawan Negara (SN) ke-13, Datuk Dr. Zurinah Hassan, pengarah filem veteran, Yassin Salleh, dan juara Deklamasi Puisi Kebangsaan 1996, Ahmad Shukri Abdullah adalah antara yang diundang untuk menjayakan Baca Puisi Bumbung pada 21 Mac lalu di Institut Darul Ehsan (IDE), Shah Alam.\nAcara yang disambung semula selepas terhenti sekian lama itu merupakan anjuran Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) dengan kerjasama kerajaan negeri Selangor dan IDE.\nZurinah menyampaikan pantun beliau, \u201cWarisan Bangsa\u201d, sementara Yassin dengan sajaknya, \u201cPokok TAP yang Direpang-repang\u201d. Shukri pula mendeklamasikan sajaknya, \u201cKembali Muda\u201d dan \u201cPeradaban Abad Ini\u201d.\nTurut menjayakan acara tersebut ialah Presiden PAKSI, Datuk Dinsman yang mendeklamasikan sajak beliau, \u201cBersahabat Berjuang Bersama\u201d.\nSebelum itu, dalam ucapan alu-aluannya, Dinsman menyatakan kekesalan beliau kerana sepohon pokok yang pernah dijadikan pentas untuk Teater Atas Pokok pada 16 dan 17 April tahun 2016 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam tidak diurus dengan wajar hingga hampir musnah.\nPada awalnya, pokok tersebut dipilih oleh PAKSI sebagai lokasi acara menyambut Hari Puisi Sedunia 2021. Walau bagaimanapun, lantaran keadaan pokok tersebut yang amat daif, lokasi acara ditukar ke IDE.\nSehubungan \u201ctragedi\u201d itu, Dinsman berharap pihak berkuasa tempatan, bukan sahaja di Shah Alam, dapat berbuat sesuatu dan menyediakan dana yang sewajarnya untuk kegiatan seni sastera budaya.\nBaca Puisi Bumbung turut menampilkan penyair terkenal Ijamala MN yang mendeklamasikan sajak \u201cMakbulkan Doa Kami\u201c. Selain itu, Setiausaha PAKSI, Hasni Abas mendeklamasikan sajaknya \u201cDoa Pencuri\u201d, dan \u201cUlar yang Memakai Songkok\u201d, sementara Ketua Penerangan PAKSI, Mohamed Nasser Mohamed tampil dengan sajak \u201cPenyair Apakah Kita Ini\u201d.\nTurut diundang bagi menjayakan acara tersebut ialah mantan Ahli Dewan Negara Syed Shahir serta Ayudez Zuraina, Lim Ah Nee, dan Raja Yusoff Ariffin.\nMasing-masing mendeklamasikan sajak \u201cApa Dosanya Makhluk Itu\u201d, \u201cSuara\u201d, \u201cLautan Bukan Pemisah\u201d (karya Ratna Laila Shahidin), dan \u201cUsah Biarkan Barah Itu\u201d.\nBeberapa orang dalam kalangan hadirin yang kebetulan juga penggiat seni turut dipelawa untuk mendeklamasikan sajak, termasuk Ahmad Sarju, Dr. Ibrahim Ghaffar, Harlym Yeo, dan Aloy Indra Jokina.\nIstimewanya, sesi Baca Puisi Bumbung ini diiringi dengan muzik iringan Kreatif Akustika. Kreatif Akustika telah mendendangkan beberapa lagu puisi, termasuk Doa, Kepadamu Kekasih, Nyanyian Pantai Timur dan Srikandi Cintaku.\nAcara ini turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar Kampung Tradisi, Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan Negeri Selangor, Borhan Aman Shah.\nDalam ucapan beliau, Borhan menghargai puisi dan acara yang diadakan yang menurutnya selaras dengan kata-kata Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam filem Seniman Bujang Lapok, iaitu \u201cbahasa menunjukkan bangsa\u201d.\nBorhan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Sepat turut menyampaikan cadangan Menteri Besar Selangor, Dato\u2019 Seri Amirudin Shari yang ingin menganjurkan acara puisi bulanan di kediaman beliau.\nAcara yang berlangsung selama kira-kira tiga jam itu dikendalikan oleh Shariffah Khadijah dari PAKSI sebagai pengacara." "Citra Wanita dalam Hanyut Kental\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHampir kesemua filem U-Wei Haji Saari, pengarah filem, menyentuh tentang keterasingan, terutamanya peranan wanita dalam masyarakat.\nPenekanan citra wanita dalam filem beliau menyerlah kerana sanjungan beliau terhadap mereka. Salah satu filemnya yang amat menekankan wanita ialah Hanyut (2012).\nHanyut merupakan karya filem yang telah diadaptasi daripada novel Almayer\u2019s Folly oleh Joseph Conrad. Novel tersebut sebenarnya salah satu pemberian daripada tiga novel oleh arwah isteri pertamanya, termasuk cerpen \u201cBarn Burning\u201d oleh William Faulkner yang telah diadaptasi kepada filem Kaki Bakar (1995).\nOleh sebab Almayer\u2019s Folly menjadi salah satu novel yang digemari oleh U-Wei, beliau telah mula membuat kajian terhadap novel tersebut melalui pembacaan tesis-tesis akademik.\n\u201cSaya juga telah berjumpa dengan profesor dari dalam dan luar negara, iaitu di England, Poland dan Malaysia,\u201d jelas beliau.\nBeliau menjelaskan, seorang daripada profesor yang telah menulis kajian tentang novel Almayer\u2019s Folly ialah seorang wanita, dan beliau sangat meminati unsur feminisme yang ditunjukkan dalam novel tersebut.\nWalaupun profesor tersebut meletakkan Mem sebagai unsur feminisme, U-Wei berpendapat bahawa Nina yang sebenarnya membawa watak yang penting. Hal ini demikian kerana, Ninalah yang sebenarnya menjadi simbol hasil penjajahan.\n\u201cOleh itu, apabila membuat filem Hanyut, saya meletakkan Nina sebagai watak yang penting kerana minat saya tentang hasil penjajahan yang juga melambangkan hasil kemerdekaan.\u201d\nU-Wei berharap agar novel ketiga yang diberi oleh arwah isterinya itu dapat dihasilkan dalam bentuk filem seperti dua novel yang lain. Hal ini demikian kerana beliau amat mempercayai firasat isterinya.\nDewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menjemput U-Wei dalam rancangan Sembang Tamu yang bertemakan \u201cLiku-liku Mengadaptasi Filem\u201d pada 24 Mac yang lalu." "SLCP Ajar Bahasa Arab dan Mandarin secara Percuma\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSik, Kedah \u2013 Bahasa merupakan satu kemampuan terpenting yang dimiliki oleh manusia sebagai medium untuk berkomunikasi, menyampaikan pendapat dan perasaan. Selain penguasaan bahasa ibunda, mempelajari bahasa asing juga akan mengasah pemikiran seseorang. Hal ini kerana proses pembelajaran bahasa kedua atau ketiga dapat membantu meningkatkan beberapa kemampuan seseorang seperti mengingati, mengenali pelbagai jenis kata dan menguasai pertuturan yang akan menjadi nilai tambah kepada individu yang mempelajari bahasa kedua atau ketiga ini.\nSehubungan dengan itu, Unit Bahasa Antarabangsa dengan kerjasama Jawatankuasa Jaringan Industri dan Masyarakat dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) mengadakan Kelas Asas Bahasa Antarabangsa sebagai satu program khidmat masyarakat kepada staf pentadbiran di Pejabat Daerah Sik dan Majlis Daerah Sik, Kedah.\nPensyarah SLCP, Zeety Kartini Abdul Hamid berkata, objektif bengkel ini adalah untuk memperkenalkan komunikasi asas bahasa antarabangsa seperti bahasa Arab dan bahasa Mandarin kepada peserta.\nSLCP memberikan peluang kepada staf pentadbiran di Daerah Sik memperoleh kemahiran untuk berkomunikasi berserta pendedahan budaya dalam bahasa asing selain menyediakan platform kepada warga SLCP untuk berkomunikasi dan berkongsi ilmu kepada komuniti luar.\nJelasnya lagi, SLCP mempunyai staf akademik yang terlatih dan pakar dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Jerman, Sepanyol, Jepun, Mandarin, Perancis, Arab, Korea dan Thai.\nMelalui kepakaran yang sedia ada, kita berharap dapat berkongsi dengan masyarakat luar supaya kepakaran ini tidak terbatas dalam universiti sahaja dan berharap ilmu yang dikongsi ini akan dapat memanfaatkan komuniti luar kampus. Program ini juga akan memberikan nilai tambah kepada staf pentadbiran Pejabat Daerah Sik dan Majlis Daerah Sik dengan kemahiran berbahasa melalui penguasaan bahasa asing selain membantu dalam peningkatan pengalaman pengajaran dalam kalangan guru bahasa di SLCP.\u00a0 Program ini juga merupakan langkah ke arah keterlihatan dalam usaha memperkenalkan SLCP kepada masyarakat luar.\nProgram ini berlangsung dalam tiga sesi, iaitu Kelas Bahasa Arab dikendalikan oleh Ustaz Abdul Hadi Abu Hassan di Majlis Daerah Sik manakala Kelas Bahasa Mandarin pula dikendalikan oleh Ang Wei Yin di Sik Inn.\nSementara itu, Pembantu Tadbir Majlis Daerah Sik, Mohamad Fauzi Md Isa teruja menimba pengalaman baharu dalam mengasah kemahiran berbahasa Arab selain menguasai cabang ilmu dalam bahasa tersebut.\nBengkel ini sangat bagus untuk menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan kemahiran berkomunikasi dengan pelanggan yang berbahasa Mandarin dan Arab. Kami juga belajar untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi sebab ada juga pelanggan kami dalam kalangan masyarakat Cina.\nAkuinya, terdapat perbezaan selepas menyertai kursus ini kerana dapat mempelajari perbezaan bahasa, iaitu tatabahasa, pertuturan dan ejaan yang berbeza daripada bahasa Melayu. Kebolehan bertutur dalam bahasa Arab merupakan satu kelebihan yang boleh dijadikan satu nilai tambah.\nTambahnya lagi, antara kelebihan mempelajari bahasa ini ialah kita boleh memahami makna ayat yang terkandung di dalamnya. Belajar bahasa Arab menjadi mudah apabila kita bersungguh-sungguh ingin mendalaminya, tambahan pula bahasa Arab merupakan bahasa al-Quran. Sepanjang penganjuran kelas ini, banyak ilmu dan manfaat yang dipelajari dengan bimbingan pensyarah UUM yang cukup baik sedikit banyak memberikan pengetahuan kepada kami untuk sebutan, ejaan dan pengunaan kata yang tepat." "Usaha Perkasa Lagu Puisi Masih Payah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada hari ini, terdapat suara-suara anak muda yang menyatakan mereka tidak meminati lagu puisi, tetapi ironinya, cukup giat menghafal seni kata lagu. Mengapakah mereka meminati seni kata yang puitis, tetapi menolak puisi? Adakah mereka memahami maksud-maksud dalam lirik itu, dan menganggapnya berbeza dengan puisi?\nSebagai contoh, seni kata lagu popular, Aku Bidadari Syurgamu dendangan Dato\u2019 Sri Siti Nurhaliza. Jika seni katanya bait-bait puisi, adakah ia diterima?\nCiptaan lagu puisi di Malaysia dimulakan oleh Allahyarham Ibrahim Bachik, kemudian kumpulan Titra, Harmoni dan Kopratasa, serta Ahmad Ramli. Kelihatan, lagu puisi ada pengikutnya. Namun demikian, hal itu bukan pengukur untuk menentukan tahap pemasyarakatannya.\nBagaimanakah memasyarakatkan lagu puisi? Menurut Ahmad Ramli, dunia seni\nMalaysia terlalu dipengaruhi unsur-unsur luar. Sudah sampai masanya, kata Ahmad, peranan media awam beransur-ansur beralih daripada \u201cmengejar wang\u201d kepada \u201cmengejar nilai\u201d. Jika kita memahami nilai, adat, seni dan budaya sendiri, katanya, akan lahir rasa mencintai lagu puisi yang jauh lebih kaya.\nJelas pencipta, penyanyi dan penerbit lagu puisi dari Pulau Pinang ini, lagu puisi tidak lari daripada irama yang dipengaruhi oleh seni Islam, iaitu taranum.\nMuzik Barat, katanya, yang orang Melayu banggakan, hanya didasarkan pada dua skala muzikal, iaitu major dan minor, sedangkan lagu Melayu yang dianggap dipengaruhi seni taranum, menggunakan tujuh skala muzikal. Untuk mendalami ilmu dan kemahirannya sahaja mungkin boleh menimbulkan rasa menghargai seni muzik Melayu, khususnya lagu puisi.\nTambah Ahmad, seni kata sudah kurang dihiraukan oleh pendengar sekarang. Hal yang lebih penting ialah iramanya bagi menghentakkan kaki atau menganggukkan kepala. Muzik lagu untuk hiburan dan lagu untuk penghayatan, katanya, memang berbeza.\nDari segi seni kata, lagu hiburan lebih santai daripada lagu puisi yang banyak terikat dengan pelbagai perlambangan. Tegas Ahmad, motif lagu biasa melekakan, tetapi lagu puisi mengingatkan.\nMengenai usaha mengangkat lagu puisi dalam dunia penyiaran, Ahmad atau lebih mesra dipanggil Cikgu memberikan dua cadangan tegas.\nPertama, lagu puisi perlu kerap disiarkan sehingga timbul kesan psikologi bahawa ia baik untuk masyarakat.\nKedua, tukarkan penerbit dan penyiar yang tiada latar belakang sastera, atau tidak pandai menghargainya, kerana merekalah ejen pembentuk masyarakat dalam dunia seni lagu.\nMan Kayan yang banyak mencipta dan menyanyikan lagu puisi pula mengatakan perkara sebegini turut menimpa lagu rakyat, gendang dan busana. Justeru, dia enggan mengeluh. Baginya, lebih wajar berusaha mengumpulkan insan berbakat dan terus bergiat tanpa memikirkan reaksi masyarakat.\nTegas Man yang bergiat di Kuantan, yang penting ialah dia dan rakan-rakan meminati lagu puisi itu sendiri. Jika minat dan cinta itu hadir sendiri, seni itu akan berkekalan walaupun dalam skala yang kecil.\nMan mengimbau zaman segmen puisi di Radio Klasik. Ketika itu, katanya, ada deklamasi dan lagu puisi. Namun begitu, setelah segmen program itu menghilang, seniman tiada kuasa untuk meminta diadakan semula dan diteruskan.\nSementara itu, Siso mengatakan keadaan, pembawaan, sebaran, pemerkasaan dan sokongan badan terlibat serta peranan wartawanlah yang dapat menentukan kemeriahan pertumbuhan lagu puisi.\nSiso berharap deklamator, penulis puisi dan penyanyi lagu puisi dapat membuat anjakan baharu. Mereka, tambah mantan ahli Kopratasa ini, tidak boleh lagi hanya mengisi masa lapang.\nPenyanyi lagu puisi profesional, katanya, berbeza dengan penyanyi lagu puisi amatur/kecil-kecilan kerana mereka perlu dibayar dengan harga profesional, bukan mengkut kehendak penganjur.\nJika penyanyi lagu popular dibayar RM5000, tegas Siso, mengapa tidak\npenyanyi lagu puisi? Hal ini dikatakan sedemikian kerana kerjanya sama, hanya berbeza genre.\nAcara baca puisi juga, kata Siso, perlu teratur dengan tema dan konsep, termasuk hiasan pentas, sistem bunyi, pakaian penyair, dan kejutan artistik, sebagaimana rancangan di televisyen. Jika acara puisi mahu bersaing atau setanding, ia harus merujuk program tertentu.\nSiso mengingatkan, penyanyi lagu puisi juga mencari rezeki untuk anak dan isteri menerusi nyanyian dan persembahannya. Jika bayaran kecil atau tiada, mereka sukar mencari rezeki.\nHal ini menjadi satu kerugian pada dunia puisi, tegas Siso, jika mereka \u201cbersara\u201d. Kegiatan lagu puisi akan terus malap, berbanding yang ada kerja dan sumber rezeki lain." "Penulis Mencorakkan Pemikiran Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Penulis mencorakkan pemikiran masyarakat dan menulis ialah ibadah sekiranya perkara yang ditulis membawa kebaikan kepada khalayak. Oleh itu, peranan penulis sangat penting kepada agama, bangsa dan negara. Dalam berkarya, penulis perlu mempunyai wawasan, matlamat, ikhlas dan mengikut perkara yang dituntut oleh agama.\nPandangan berikut merupakan antara inti pati yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Dato\u2019 Haji Hassan Mahmood, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan, merangkap Timbalan Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK) semasa merasmikan Program Bicara Editor, Pelancaran Antologi Terbitan GEMA dan Majlis Penutupan Bengkel Penulisan dalam Talian 2021 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur pada 27 Mac 2021.\nMajlis pelancaran tersebut turut disaksikan oleh Yang Berbahagia Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP, Yang Berbahagia Dato\u2019 Haji A. Aziz Deraman, mantan Ketua Pengarah DBP dan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Kelantan, Encik Mohd Azam Juhari, Pengarah DBP Wilayah Timur, Encik Zainal Abidin Muhamad, Ketua Satu GEMA, dan para peserta Bengkel Penulisan dalam Talian 2021. Yang Berbahagia Datuk Haji Abang Sallehuddin turut menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta kursus yang hadir di majlis tersebut.\n\u00a0\nSebelum berlangsungnya majlis perasmian, DBP Wilayah Timur dengan kerjasama MKNK dan GEMA telah menampilkan lima orang ahli panel dalam Program Bicara Editor untuk berkongsi maklumat tentang ruang dan peluang penulis menerbitkan karya. Ahli panel yang diundang ialah Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Penerbitan DBP, Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, Puan Julia Alani Henry, Ketua Editor Bahagian Buku Sastera DBP, Encik Mohd Nazmi Yaakub, Pengarang Berita dan Kandungan Berita Harian, dan Puan Norzana Razaly (Zanazanzaly), Pengarang Qiadah.\nTiga buah buku antologi puisi dan cerpen yang dilancarkan oleh Yang Berhormat Dato\u2019 Haji Hassan Mahmood dalam majlis tersebut ialah antologi pantun\u00a0Kelantan dalam Pantun yang diselenggarakan oleh Zainal Abidin Muhammad, kumpulan cerpen\u00a0Dalam Lebat Hujan karya Noor Anita Salleh, dan kumpulan puisi Bayang-bayang di Air tulisan Ezani Haji Daud. Karya tersebut diterbitkan oleh GEMA.\n \u00a0\nSebelum mengakhiri ucapan perasmian, Yang Berhormat Dato\u2019 Haji Hassan Mahmood berharap agar kerjasama yang baik dengan pelbagai agensi dapat diteruskan untuk meningkatkan minat masyarakat dalam penghasilan karya. Beliau juga mencadangkan bengkel penulisan seperti itu dapat diadakan kepada agamawan untuk menggilap bakat dan meningkatkan bilangan karya dalam bidang agama." "Bengkel Penulisan Kreatif GEMA 2021 dalam Talian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013Perjuangan untuk memartabatkan kesusasteraan tanah air tidak harus terhenti meskipun dunia hari ini dilanda oleh pandemik COVID-19. Justeru, menyedari hakikat itulah Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA), Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) serta Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK) telah mengambil inisiatif menganjurkan Bengkel Penulisan Kreatif dan Deskriptif 2021 bermula 19 Februari hingga 20 Mac 2021 bertempat di Dewan Seminar DBP Wilayah Timur, Kota Bharu, Kelantan secara dalam talian. Sambutan yang diterima amatlah menggalakkan, malah pesertanya bukan sahaja dari negeri Kelantan tetapi seluruh negara. Pihak urus setia terpaksa mengehadkan penyertaan kepada hanya 100 orang sahaja atas alasan kekangan talian yang terhad.\nAntara objektif mengadakan bengkel tersebut adalah untuk membimbing peserta mendalami serta menguasai genre penulisan puisi, cerpen dan rencana. Selain itu, pihak penganjur berhasrat untuk melahirkan lebih ramai penulis kreatif yang berbakat dan berpotensi bagi mengisi ruang-ruang penulisan sedia ada, dalam media bercetak ataupun dalam talian.\nBeberapa penceramah jemputan diundang menyampaikan ceramah mereka secara dalam talian. Antara penceramah yang diundang termasuk Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari, Dr. Shamsudin Othman, Dr. Maskiah Hj. Masrom, Dr. Abdullah Yusof, S.M. Zakir, Hj. Abdul Mubin Ismail, dan Nimoiz TY. Bagi slot sesi penciptaan dan pemurnian karya pula, peserta dibimbing oleh beberapa orang fasilitator yang terdiri daripada Dr. Muhamad Fadzil Yusof, Dr. Abdullah Yusof, Hj. Ezani Hj. Daud, Hj. Aminuddin Mamat, Mohd. Zizee Setapa, dan Tuan Siti Mastazameatun Long Tuan Kechik.\nSesi bengkel dijalankan pada setiap hari Jumaat dan Sabtu bermula pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari. Pada minggu pertama dan kedua, peserta akan mengikuti ceramah-ceramah yang disampaikan oleh penceramah jemputan. Mereka akan didedahkan dengan teori serta pengalaman oleh para penceramah. Pada minggu keempat dan kelima pula, mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan dengan dibimbing oleh fasilitator-fasilitator berpengalaman. Karya-karya yang dihasilkan akan dibedah serta dimurnikan bersama-sama fasilitator masing-masing.\nPada peringkat permulaan, sesi bermula pada 19 Februari 2021 dengan penyampaian ceramah oleh Nimoiz TY (Puisi) dan Dr. Maskiah Masrom (Cerpen). Pada hari kedua pula, slot ceramah telah dikendalikan oleh Dr. Abdullah Yusof (Rencana) dan diikuti oleh SM Zakir (Cerpen). Pada minggu berikutnya, iaitu 26 Februari 2021, para peserta telah berinteraksi dengan Sasterawan Negeri Kelantan, Rosli K. Matari dan diikuti dengan ceramah tentang puisi oleh Hj. Abdul Mubin Ismail. Sesi bersama penceramah jemputan berakhir pada 27 Februari 2021 dengan menampilkan Dr. Shamsudin Othman.\nBermula pada 5 Mac 2021, para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk sesi penciptaan dan pemurnian karya dengan dibantu oleh fasilitator-fasilitator berpengalaman bagi setiap kumpulan. Antaranya, termasuk Dr. Muhamad Fadzil Yusof (Puisi dan Cerpen), Dr. Abdullah Yusof (Rencana), Hj. Ezani Hj. Daud (Puisi dan Cerpen), Mohd. Zizee Setapa (Puisi dan Cerpen), Hj. Aminuddin Mamat (Puisi dan Cerpen), dan Tuan Siti Mastazameatun Long Tuan Kechik (Cerpen).\nSetiap karya akan dibicarakan serta ditambahbaikkan supaya lebih mantap dan kemas bagi tujuan penghantaran kepada pihak penerbitan. Sesi pembedahan karya akan disusuli dengan sesi pemurnian karya oleh para fasilitator berserta para peserta. Sesi ini memerlukan penelitian dan kekemasan ketika menghasilkan karya. Setiap peserta wajib menyiapkan sekurang-kurangnya sebuah karya pada akhir sesi dengan bantuan para fasilitator masing-masing.\nSebagaimana lazimnya, pihak penganjur akan mengumpul karya-karya peserta yang dihasilkan sepanjang berbengkel dan dibukukan dalam antologi. Saban tahun, GEMA mengambil inisiatif untuk menerbitkan antologi puisi dan cerpen hasil karya para peserta bengkel. Karya-karya yang termuat dalam antologi tersebut akan dinilai oleh pihak panel penilai Sayembara Penulisan Kreatif 2021 untuk diberi hadiah.\nSebanyak tiga karya terbaik akan dipilih bagi memenangi hadiah utama, manakala tujuh karya akan diberi hadiah penghargaan bagi setiap kategori, iaitu puisi dan cerpen. Para pemenang akan diraikan dalam satu majlis khas yang akan diadakan kemudian.\nKemuncak pengisian Bengkel Penulisan Kreatif dan Deskriptif GEMA 2021 dalam talian ini berakhir dengan sesi Bicara Editor yang berlangsung pada 27 Mac 2021. Beberapa orang editor tamu dari DBP telah dijemput untuk sesi ini, diketuai oleh Hj. Razali Che Mat, Pengarah Penerbitan, Bahagian Penerbitan DBP. Turut dijemput untuk sesi ini ialah Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah DBP dan Puan Nurul Julia Alani Henry, Ketua Editor Bahagian Buku Sastera DBP. Sesi bersama-sama ketiga-tiga editor ini berlangsung secara dalam talian dari DBP Kuala Lumpur dan berinteraksi dengan para peserta yang berada di Dewan Seminar, DBPWT.\nPeserta juga berpeluang bersemuka dengan Encik Mohd Nazmi Yaakub, Pengarang Berita dan Kandungan Berita Harian serta Puan Norzana Razaly (Zanazanzaly), Pengarang majalah Qiadah di Dewan Seminar. Keseluruhan sesi ini dapat diikuti melalui Facebook dan juga secara dalam talian oleh para peserta dari luar negeri Kelantan. Para peserta dapat berlintas langsung dengan para editor serta berdialog dengan mereka.\nMajlis perasmian penutup berlangsung pada 27 Mac 2021 telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato\u2019 Haji Hasan Mahamood, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan mewakili Yang Berhormat Mejar (B) Dato\u2019 Haji Md Anizam Ab. Rahman.\nTurut hadir menyampaikan sijil kepada para peserta ialah Yang Berbahagia Datuk Haji Abang Sallehuddin Abang Shokeran, Ketua Pengarah DBP, diiringi Yang Berusaha Encik Mohd Azam Juhari, Pengarah DBP Wilayah Timur, serta Yang Berbahagia Dato\u2019 Haji A. Aziz Derarman, mantan Ketua Pengarah DBP merangkap Presiden Peradaban. Acara berakhir dengan majlis pelancaran tiga buah buku yang diterbitkan oleh GEMA hasil karya para ahlinya oleh Dato\u2019 Haji Hasan Mahamood.\nBuku-buku yang dilancarkan ialah antologi pantun Kelantan dalam Pantun yang memuatkan pantun-pantun yang ditulis oleh para penulis dari Kelantan. Manakala dua buah buku lagi ialah kumpulan puisi Bayang-bayang di Air karya Ezani Haji Daud serta kumpulan cerpen Dalam Lebat Hujan hasil karya Noor Aneta Salleh yang kedua-duanya ahli GEMA.\nMelalui ucapannya, Dato\u2019 Haji Hasan melahirkan hasrat serta menyandarkan harapannya kepada para penulis Kelantan agar terus berkarya dengan lebih tekun demi memartabatkan seni sastera dan budaya Kelantan yang mendapat jolokan \u201clubuk budaya dan sastera\u201d. Sememangnya, terdapat ramai tokoh dan penulis besar pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa lahir di negeri ini.\nEncik Zainal Abidin Muhamad, Ketua Satu GEMA mengucapkan penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini serta berharap agar para peserta bengkel dapat mempertajamkan ilmu penulisan masing-masing, khususnya dalam penulisan kreatif ini. Tidak mustahil jika suatu hari nanti mereka muncul sebaris dengan penulis-penulis besar di negara ini." "Empat Novel Besar dan Langka S. Othman Kelantan Diterbitkan Semula\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u00a0Penerbitan semula karya klasik tulisan Sasterawan Negara S. Othman Kelantan oleh Nusa Centre bukan hanya membolehkan pembaca khususnya generasi muda mengenali susuk sasterawan hebat itu, namun lebih hebatnya penerbitan semula ini dibuat oleh anaknya sendiri, penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2011, Syed Mohd Zakir atau S.M. Zakir.\n\nAngin Timur Laut, Norbani, Ustaz dan Nagoho Astana kembali menemui pembaca bukan hanya atas sebab empat judul ini merupakan karya Sasterawan Negara yang seharusnya diberi penghormatan tetapi bagi S.M. Zakir, hal ini juga kerana rasa kasih sayang terhadap bapanya.\n\u201cUsaha ini lebih mudah kerana semua hak cipta itu memang dipegang kami kerana diterbitkan oleh syarikat keluarga.\n\u201cAda juga sebahagian hak cipta sudah dilepaskan oleh penerbitan,\u201d katanya.\nTambah S.M. Zakir, buat masa ini, semua naskhah itu diterbitkan sebanyak 500 salinan sahaja. Namun katanya, tidak semua judul tulisan S. Othman Kelantan dapat diterbitkan kerana hak penerbitan masih dipegang oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\n\u201cKami akan berunding dengan DBP untuk menerbitkan semula karya beliau. Buat masa ini, kami terbitkan empat dahulu.\n\u201cSebenarnya usaha penerbitan semula ini rumit dan membabitkan banyak kos sebab kerjanya mengambil masa yang lama, iaitu hampir dua tahun. Saya perlu taip semula semua karya itu satu persatu,\u201d katanya.\nS. Othman Kelantan mungkin lebih dikenali menerusi naskhah Juara (1976) yang turut difilemkan, selain Orang Kota Bharu (2003), tetapi sebenarnya terdapat lebih banyak karya beliau yang memukau.\nMisalnya, Angin Timur Laut (1969) pernah disifatkan oleh Tan Sri Johan Jaafar sebagai magnum opus S. Othman Kelantan. Walau bagaimanapun, mungkin kerana karya-karya lain itu kurang kajian selain tulisan beliau sukar diperoleh di pasaran menyebabkan kebanyakannya tidak sampai kepada pembaca.\nNovel Angin Timur Laut, Norbani, Ustaz dan Nagoho Astana akan berada di pasaran pada 10 April 2021." "Fitrah Sastera dan Kemundurannya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDengan kemunculan pelbagai cabaran pada alaf baharu, adakah bentuk sastera mampu duduk selesa tanpa perubahan? Mohd Fadzil Yusof cuba merungkaikan peranan dan fitrah sastera dan cabaran-cabaran masa kini yang dihadapinya.\nSastera begitu mudah mendekati, meramahi, mematutkan dan membijaksanakan. Namun terus tinggal persoalan, lebih-lebih lagi akhir-akhir ini \u2013 apakah hala tuju sastera yang makin disisih perlahan-lahan daripada lingkungan perdana?\nSelepas beberapa ketika, sastera merupakan bidang paling \u201ceksklusif\u201d bukan kerana sifat ketulenannya dan membeza-bezakan khalayak, namun yang tampak lagi ialah garisan-garisan cabaran yang kian menebal pada setiap petanda di sempadan masa, faktor teknologi siber, dan seterusnya perubahan zaman yang tidak mudah dibaca. Tindakan menangani perubahan-perubahan ini dalam wadah sastera sebenarnya menarik. Seeloknya hal ini ditelaah agar dapat membaca fitrah sastera itu sendiri dengan penuh nyata dan kesedaran.\nDalam makna yang lebih langsung, sastera merupakan bidang yang mempunyai cabaran terbesar dalam usaha mengharungi perubahan yang berlaku dalam dunia globalisasi. Cabarannya bukan lagi cabaran perdana, malah sejagat. Dalam hal lain, sastera sudah dianggap ranah yang paling \u201ckental\u201d kerana banyak mengambil peranan falsafah. Betapa sastera bukanlah suatu bidang \u201clembut\u201d tetapi juga dianggap \u201ckeras\u201d bagi pelbagai era dan perkembangan ilmu manusia.\nSekarang selepas COVID-19 dan runtunan lain yang pasti datang selepas ini, apakah bekalan dan persediaan sastera untuk manusia?\nSastera telah bermula sejak manusia mula mengenal bahasa itu sendiri. Sastera kemudian berkembang seiring dengan pemikiran manusia, menurut isi hati dan budi manusia juga. Manusia tetap mendapatkan sentuhan sastera, menjalinkan hubungan akrabnya dengan sastera sepanjang masa, sehingga manusia dapat menjadi lebih manusia dan terus berjuang demi kemanusiaannya. Sastera tetap bersahabat dengan manusia, memberikan kemampuannya. Sastera sentiasa hadir di hadapan manusia, menempatkan makna daripada seminimumnya kepada semaksimal mungkin, sehingga manusia dapat bertindak balas untuk melangsungkan pemikirannya dalam pelbagai pengertian dan renungan.\nKebijaksanaan dapat dizahirkan daripada sastera hasil melalui hubungan yang cukup erat tadi. Datanglah pencerita, pengarang, pendeta, penyair, penulis, novelis, sehinggalah agamawan, politikus, doktor, dan pemikir. Untuk kalangan yang terkebawah (mungkin pembaca yang pasif), sastera tetap menzahirkan diri dengan segala kemungkinan dan menjadi wadah pemancar selain mungkin hanya \u201cmenghiburkan hati\u201d.\nManusia terus menjadi pembaca sastera, menekuni, membelah isinya, merasai nikmatnya dan segala-gala yang mungkin dijuadahkan oleh sastera dapat dirasai dengan sebaik mungkin. Sastera juga sentiasa membuka ruang untuk luahan dan pandangan, mempersilakan pengarangnya menggalurkan makna-makna, yang kadangkala patut dan indah atau bijaksana apabila kena dengan gaya dan seninya. Tidak sesempit yang lain, sastera meluaskan ruang tamunya, dan peranannya mulai meluas dan membesar mengikut latar bangsa, budaya, adat, sosiopolitik, geografi, sejarah, falsafah, malah agama. Sastera tetap mengikut peredaran zaman, mengadun dengan baik, berasimilasi dengan segala kematangannya, melahirkan ciri-ciri unik baharu, wawasan fikir yang unik dan berbeza, bertransformasi dari semasa ke semasa. Apabila khalayaknya semakin berubah, sastera juga tampak berubah, malah lebih cekal menerima perubahan.\nApabila pengarang menulis subjek baharu, suara-suara ideologi turut sama disambut olehnya. Suara itu sentiasa menampilkan sikap demokrasi dan harmoni kemanusiaan, lebih-lebih lagi apabila diajak dalam persada pentas wacana yang terbuka, malah dikongsi bersama oleh apa-apa bangsa dan ras yang ada. Sastera menjadi penyatu, pendorong, penguat keyakinan dalam wadah perpaduan.\nDalam masa yang singkat juga, sastera segera mengiringi pelbagai usaha. Mungkin secara dominan atau sekadar minima sahaja. Tidak kisah sebenarnya, kerana sastera tidak harus dibaukan dengan satu bau. Tidak harus diwarnakan dengan satu warna sahaja. Tidak harus dicorakkan dengan suatu corak sahaja. Sastera mempunyai nilai sejagatnya yang menjadi pati pada pembentukan fitrah kesusasteraannya, iaitu untuk kedamaian manusia itu sendiri. Lalu bangkitlah suara membebaskan, mendamaikan, meluruskan, mempropagandakan, mengkritik, dan mereaksi sesuatu permasalahan. Semua itu bertolak daripada rencana sastera yang memanusiakan, bukan untuk tujuan tertentu yang dikhilafkan, atau dipecahperintahkan atas apa-apa tujuan yang kabur atau yang tidak dapat dipastikan.\nSastera begitu mudah mendekati, meramahi, mematutkan dan membijaksanakan. Namun terus tinggal persoalan, lebih-lebih lagi akhir-akhir ini \u2013 apakah hala tuju sastera yang makin disisih perlahan-lahan daripada lingkungan perdana? Sedikit demi sedikit, kelihatan, diperlahankan gerak kreatifnya, makin dikonsepkan dan dislogankan citranya, atau dikerangkakan kesenjangannya.\nCiri kesusasteraan yang sangat moderat ini, tidak membantu khalayak luar sastera untuk mendapatkan maklum balas yang positif tentang sastera. Mungkin disebabkan oleh Leo Tolstoy bukanlah ahli politik, atau Jorge Luis Borges bukan negarawan, dan Ibn Muqaffa\u2019 bukan agamawan yang terbilang? Ya, mungkin begitulah faktornya.\nDan, pandangan terhadap sastera juga kelihatan menguncup, meredup, sehingga sastera diletakkan di hujung desa permai, tenang dengan sumur, angin, bayu, atau tepian pantai yang sunyi dan terasing, tidak lagi perlu bergabung atau bercanda dengan kota metropolitan, dasar-dasar kenegaraan, hak-hak tertindas dan sebagainya. Sering kali juga dianggap senyap dalam kamarnya, berbicara lewat huruf dan kata, dari pagi sampai malam tanpa memandang keluar jendela dan bertanya, ada apa di bawah sana? Ada apa pada bising dan riuh-rendah yang baru sudah?\nSastera masih sepi dengan segala kesepian gunung, tinggal di tempat yang hanya akan dikunjungi oleh orang yang dekat dengan alam. Mungkin juga kerana hutan belantara yang kian terpupus itu, atau terganggu itu juga sudah tidak lagi sesuai untuk pertapaan (yang sebenarnya suatu tempat yang paling enak untuk bertafakur merenung ciptaan Yang Maha Pencipta), lalu seseorang yang moden merasakan sastera harus didiamkan atau dianggap suatu hal yang polos lagi sia-sia.\nSastera yang dahulunya \u201cbertafahus\u201d manusia, isi hati dan pemikirannya sekarang mulai tidak diendahkan. Sastera yang selalu dibaca hingga lewat malam, sekarang sudah tiada maknanya lagi dengan adanya drama-drama yang kurang tenang berbicara, penuh bumbu populisme sehingga terkadang sukar untuk menjejak kemanusiaannya. Dalam keadaan sebegitu rencam, apakah pilihan yang ada?\nAdakah sastera dilihat tidak langsung berperanan? Masih sepi dan \u201cbujang\u201d dengan gayanya. Mungkin semakin kurang gaya sebenarnya, tidak lagi \u201cmacho\u201d, kerana seakan-akan kehilangan ciri matangnya. Entah mengapa, sastera semudahnya dianggap sebagai sebuah majalah yang konyol, cerpen yang comot atau lukisan yang tidak mudah difahami. Lalu, sastera tidak punya penghayatnya, tiada pentafsirnya. Tiada pun yang mahu merasainya. Tiada isi yang penting dalamnya, kata mereka.\nJusteru, apakah persediaan yang sastera ada, bekalan yang sastera dapat rencanakan kepada generasi muda atau masa depan? Mnifesto apakah yang dapat dijanjikan buat para pengundi di seluruh dunia hari ini atau esok, selain hanya novel, cerpen, sajak atau drama? Tentu \u201corang atau ahli sastera\u201d perlu memikirkannya, persediaan-persediaannya yang mungkin dapat \u201cmempermuda\u201d sastera dan melestarikannya agar selalu relevan dengan bahasa zamannya, lantas menjadi lebih bermakna pada setiap generasi. Begitulah.\n_________________________\nMohd Fadzil Yusof menulis puisi, rencana dan cerpen. Karyanya pernah tersiar dalam akhbar Berita Harian, Mingguan Wasilah, Harian Metro, Mingguan Utusan Melayu, majalah Dewan Sastera, Nur, Siasah, Dewan Budaya, Tunas Cipta, dan Milinea Muslim. Karya bukunya termasuk novel Berahi Sukma (ITBM, 2015), kumpulan cerpen Terbang Layang-layang (DBP, 2016), dan kumpulan puisi Buku Kenangan Kala Pemukiman (DBP, 2019)." "Mengadaptasi Novel Perlu Alternatif Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLantaran sukar memperoleh skrip filem yang bermutu tinggi, beberapa pihak mula menyarankan agar pengadaptasian novel dilipatgandakan dalam dunia perfileman tempatan. Dalam masa yang sama, krisis kekurangan karya yang baik belum pasti dapat diatasi jika pengadaptasian tersebut tetap hanya menghasilkan skrip yang lemah, meskipun daripada novel yang bagus.\nMalah, anggapan bahawa tugas menghasilkan skrip filem daripada novel lebih mudah kerana cerita, plot dan watak sudah tersedia tidak benar. Sebenarnya, pengadaptasian daripada novel jauh lebih sukar dan mempunyai cabarannya yang tersendiri.\nTerdapat beberapa aspek dalam novel yang tidak dapat difilemkan. Misalnya, sesuatu adegan atau inti cerita yang terlalu panjang. Jika ditinggalkan pula, pasti akan terjadi kekurangan atau penyimpangan. Mereka yang telah membaca novel lalu menonton filem tersebut akan berasa kecewa atau kurang puas hati.\nSejak 1950-an, Chinta Gadis Rimba (Harun Aminulrashid), Rumah itu Dunia Aku (Hamzah Hussein), Bukan Salah Ibu Mengandung (Harun Hassan), Langit Petang (Sasterawan Negara [SN] A. Samad Said), Ranjau Sepanjang Jalan (SN Shahnon Ahmad), Ombak Rindu (Fauziah Ashari), dan Lagenda Budak Setan (Ahadiat Akashah) merupakan antara filem adaptasi novel.\nWalau bagaimanapun, ramai pembaca yang menonton filem-filem tersebut tidak mendapat keseronokan seperti ketika membaca novel asalnya. Pengkritik juga mendapati Langit Petang, arahan Shahrom Mohd. Dom gagal memahami beberapa ciri utama yang mendasari novelnya.\nRanjau Sepanjang Jalan (arahan Datuk Jamil Sulong) pula dianggap terlalu setia mengikut novel sehingga menjadi filem yang lebih bersifat dokumentari.\nNovel menggunakan kekuatan kata-kata, manakala filem menggunakan kekuatan visual. Novel bersifat konseptual dan deskriptif, filem pula perceptual, dan presentational, yang menuntut pemahamannya yang tersendiri. Pengadaptasi novel harus menganggap karya itu sebagai bahan mentahnya, lalu mencipta struktur dan pengucapan yang tersendiri.\nAntara perkara penting dalam pengadaptasian ialah pengekalan semangat novel asal. Para pembikin filem juga perlu memastikan bahagian perubahan ataupun pengurangan daripada novel yang manakah akan merosakkan atau memperbaik filem yang dihasilkan.\nPengekalan inti dan semangat novel memberikan tafsiran serta bahasa yang tersendiri pada filem yang diusahakan. Hal inilah yang diharapkan dan diutamakan walaupun sukar. Dalam kata lain, pengadaptasian tidak semena-mena membunuh keasliannya.\nMenurut pensyarah Pusat Pengajian Asasi Seni Kreatif ASWARA, Azlim Ibrahim, masalah pengadaptasian mungkin berpunca daripada kurangnya penguasaan ilmu penulisan skrip dan bukan kerana tidak memahami format skrip.\nKatanya lagi, ramai penganjur bengkel skrip sekarang mengajar menggunakan format lama meskipun kini sudah banyak perisian baharu yang diperkenalkan.\nWalau bagaimanapun, Azlim bertegas bahawa kebanyakan pembikin filem sekarang kurang mengetahui cara terbaik untuk membina struktur, konflik dan dialog yang baik.\n\u201cBarangkali juga kerana karyawan filem kurang membaca novel besar tempatan dan antarabangsa. Kemahiran penggunaan bahasa filem yang sinematik amat penting, sepertimana penguasaan gaya bahasa dalam novel untuk menyampaikan makna dan keindahannya,\u201d tambahnya.\nAzlim mencadangkan pengadaptasian novel besar sasterawan tempatan menjadi pilihan para pembikin filem untuk membikin \u201cfilem kenegaraan\u201d agar \u201cmutu\u201dnya dapat diterjemahkan menjadi filem yang bermutu, dengan penglibatan karyawan dan penerbit yang berintegriti tinggi.\nBagi mencari penyelesaian tuntas, Rozan Azen Mat Rasip berpendapat novelis dan penulis skrip atau sutradara perlu sama-sama bertoleransi agar pengabaian semangat novel ataupun bahasa sinema dalam filem tidak berlaku apabila kedua-dua pihak berkompromi secara kreatif. Hal ini mampu menghasilkan sebuah skrip adaptasi yang \u201cbaharu\u201d \u2013 menggabungkan kehendak kreatif kedua-dua genre.\nKata aktivis seni sastera itu lagi, penonton dan pembaca tetap akan faham bahawa karya itu sebuah hasil yang baharu, dan tidak terikat tegar dengan sumber asalnya.\nWalau bagaimanapun, tambah Rozan, kematangan pembaca-penonton juga diperlukan agar memahami filem tersebut ialah adaptasi yang membawa dimensi baharu yang telah disesuaikan menjadi filem.\nJusteru, kata mantan Setiausaha Agung Persatuan Teater Malaysia itu, tidaklah berlaku banyak perbezaan antara semangat novel dengan adaptasi filem.\nRozan turut mencadangkan para sutradara untuk mencari kesesuaian yang terbaik dalam pengadaptasian, sama ada disebabkan oleh novel yang lemah sehingga menyukarkannya menjadi sebuah filem yang menarik, ataupun untuk mengelakkan isi atau plot yang menarik dalam novel tersisih tanpa disedari.\nTegasnya, penulis skrip atau sutradara perlu membaca, mengikuti dan mendapatkan semua kritikan terhadap novel itu sebagai panduan agar segala kelemahan dapat dielakkan dalam proses pengadaptasian." "Satu Dekad Dewan Sastera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSempena Jubli Emas Dewan Sastera pada tahun ini, kami siarkan kembali esei sorotan khas oleh S. Jaafar Husin tentang kelahiran awal Dewan Sastera pada Januari 1971 di bangunan Percetakan\u00a0 Ari di Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur. Saat legenda itu ditunggu-tunggu oleh pengarang setianya, Sasterawan Negara Usman Awang dan Latiff Mohidin. Esei ini pernah tersiar dalam isu 10 Tahun Dewan Sastera, Januari/Februari 1981 sempena sambutan Satu Dekad Dewan Sastera (1971-1981).\nSepuluh tahun dulu bukan macam sekarang. Sebagaimana dengan majalah Dewan Masyarakat, begitulah dengan Dewan Sastera, kami sidang pengarang kononnya jadi \u2018pakar\u2019 dalam semua bidang kerja penerbitan.\nMenjelang subuh, Latiff Mohidin yang sepanjang malam berada di Percetakan Art di Jalan Riong bersama Usman Awang, baru terasa lapar. Mereka keluar mencari kalau-kalau ada kedai yang masih atau telah dibuka. Sebuah kedai kopi, roti bakar dan beberapa cawan kopi O. Tapi mereka tidak lama di situ. Rasa ghairah dan tidak sabar memaksa mereka kembali ke percetakan.\nKira-kira jam enam pagi, 13 Januari 1971, Usman dan Latiff, lesu tapi puas, meninggalkan Percetakan Art, masing-masing membawa pulang seorang senaskhah majalah Dewan Sastera, keluaran sulungnya. \u201cSaya bersama Usman Awang sejak siang di Percetakan Art,\u201d cerita Latiff ketika ditemui. \u201cSaya bekerja secara sukarela,\u201d sambungnya. \u201cMemang sejak dari mula terbitan pertama Dewan Sastera dikerjakan di Dewan Bahasa, saya membantunya, terutama dalam hal reka bentuk, bersama pereka bentuk Dewan, Hassan Majid.\n\u201cSetelah Dewan Sastera mula terbit, saya terus membantu setakat terdaya. Saya berusaha mencari bahan, terutamanya sketsa. Saya bawa majalah itu ke mana-mana, tunjuk kepada kawan-kawan. Bersama-sama Hassan Majid saya memilih sketsa-sketsa untuk disiarkan.\u201d\nMaka lahirlah Dewan Sastera, yang sejak beberapa lama menjadi buah mimpi begitu ramai penulis tanah air. Terbitlah sebuah majalah yang mulanya dikendalikan oleh Kamaludin Muhammad (Keris Mas) sebagai ketua pengarangnya, dengan Usman Awang, Abdullah Hussain dan Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) sebagai sidang pengarangnya. Tiba ke bilangan keduanya, anggota sidang pengarang ini ditambah pula dengan Abu Yazid Abidin (Allahyarham), Salleh Daud, A. Wahab Muhammad (Awam il-Sarkam) dan A. Karim Abdullah. Merekalah yang bekerja, dengan Usman sebagai penggerak utamanya, saban bulan, di pejabat mahupun di percetakan, mengendalikan sebuah majalah yang merupakan \u201ctanda perkembangan kebudayaan urbanisasi moden tanah air yang belajar mengimbangi pembangunan mentalnya . satu percubaan dan refleksi dari kebudayaan kita yang membanteras batas-batas bangsa/keturunan untuk membina kebudayaan nasional dengan identiti kita sendiri tanpa menutup dan memencilkan diri dari kebudayaan dunia yang maju.\u201d (Sidang Pengarang Dewan Sastera, Februari 1971).\nSambutan yang diterima oleh Dewan Sastera jelas amat menggalakkan. Memetik Sidang Pengarang April 1971: \u201cDi luar dari dugaan, Dewan Sastera yang kami cetak untuk keluaran bulan April ini dengan jumlah sekali ganda tambahannya dari jumlah cetakan keluaran pertama bulan Januari lalu. Hal ini suatu tanda yang amat jelas tuntutan masyarakat pembaca yang memerlukan majalah khusus mengenai sastera.\u201d\nMasa itu ialah masa yang penuh dengan pencarian dan percubaan bagi Dewan Sastera. Perkembangannya, sebagaimana bentuk dan coraknya berkembang dan berubah, begitu jugalah tenaga yang mengerjakannya. Anggota sidang Pengarangnya turut berubah dari waktu ke waktu. Petugas-petugas baharu mengambil alih dan menyambung tugas mereka yang awal. Demikian antara redaksi Dewan Sastera selama sepuluh tahun usianya tercatat nama-nama seperti Shamsuddin Jaafar, Suhaimi Haji Muhammad, Zainal Abidin Bakar dan Wan Omar Ahmad. Selain Hassan Majid, perekabentuk-perekabentuk Rashid Osman, Israry, Mali Haji Munji dan teman-teman mereka turut menyumbangkan tenaga yang amat diperlukan oleh Dewan Sastera. Sedang Mohamad Alii Zakaria dan crewnya dari Cawangan Seni Foto menyumbangkan tenaga mereka menyediakan gambar-gambar yang menghiasi kulit dan juga isi Dewan Sastera. Sementara itu, Dewan Sastera tidak akan terbit sebagaimana bentuknya tanpa kerjasama yang amat mesra daripada teman-teman dan percetakan. Antara mereka, Maniam, Lim, Kok Wah dan pembantu-pembantu mereka, adalah nama-nama yang payah untuk tidak disebut.\nSemasa Dewan Sastera mula terbit, Baharuddin Zainal (Baha Zain) berada di Jakarta melanjutkan pelajarannya. Baha merupakan antara orang yang terawal terlibat dalam usaha melahirkan majalah ini. Bila Baha pulang dari Jakarta dia bertugas sebagai Ketua Cawangan Kajian, di Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera. Dan apabila Keris Mas bersara, Baha mengambil alih tempatnya sebagai ketua bahagian tersebut, sekali gus Ketua Pengarah Dewan Sastera, satu kedudukan dan pertanggungjawaban yang amat bersesuaian dengan harapan dan cita-citanya sejak awal lagi. Dewan Sastera hari ini memasuki usianya yang kesepuluh, di bawah pimpinan Baha Zain.\nManakala Usman Awang, setelah hampir sepuluh tahun menjalankan tugas sebagai pengarang, meninggalkan tugasnya ini apabila dia dilantik sebagai Setiausaha Anugerah Sastera oleh Perdana Menteri. Setibanya usia Dewan Sastera sepuluh tahun ini, kami menanyakan Usman tentang suka dukanya, tentang pengalamannya mengendalikan majalah kesayangannya itu selama hampir sepuluh tahun.\nDitanya, bagaimanakah timbulnya idea untuk menerbitkan majalah Dewan Sastera?\nPenerbitan keluaran pertama Dewan Sastera agak kelam-kabut. Maklumlah, benda baharu dan ini merupakan tambahan tugas yang nyata tidak mudah.\nUsman menegaskan: Saya fikir idea pokoknya memang telah ada dalam matlamat kedua Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu \u201cMemajukan bakat kesusasteraan terutama dalam bahasa kebangsaan\u201d. Cara memajukan bakat memang banyak. Ceramah, seminar, bengkal sudah banyak diadakan. Dan penulis atau bakat yang timbul pun makin banyak. Soalnya sekarang bakat yang begitu banyak, tulisan yang semakin banyak tidak ada tempat untuk menampungnya. Majalah Dewan Masyarakat dihujani dengan sajak dan cerpen yang begitu banyak, sedangkan setiap keluaran Dewan Masyarakat hanya sebuah dua cerpen dan sebuah dua sajak saja yang dimuatkan. Cerpen dan sajak yang begitu banyak semakin memenuhi fail. Penulis merungut, ada sajaknya tak dimuatkan, ada cerpennya tak disiarkan.\nWaktu itu saya sering keluar berceramah. Jadi, bila bertemu dengan teman-teman penulis di luar ibu kota saya kempen dan suruh mereka desak Dewan Bahasa adakan majalah sastera. Dengan Zam Ismail dan kawan-kawan penulis Persatuan Penulis Johor, saya suruh mereka buat surat kepada Dewan desak supaya diterbitkan majalah sastera, begitu juga dengan Rejab F.I. di Perlis, dengan Jihaty Abadi di Kedah, dan juga dengan S. Othman Kelantan dan Alias Harun di Kota Bharu. Saya cadangkan supaya membuat desakan kepada pihak Dewan Bahasa untuk menerbitkan majalah khusus sastera. Saya tak fikir kempen begini berdosa dan melanggar peraturan dan undang-undang.\nSecara konkritnya yang saya tetap ingat ialah saya dan Baha Zain menemui Pengarah Dewan Bahasa, Sdr. Hassan Ahmad (masa itu belum Datuk lagi). Dan masa itu Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera belum ada lagi. Bila kami kemukakan kepada Pengarah Dewan Bahasa, beliau nampaknya belum yakin dan belum merasa perlu lagi untuk Dewan Bahasa menerbitkan majalah sastera. Alasannya yang masih saya ingat ialah tidak ada tenaga dan tidak ada peruntukan wang. Kata Baha, soal tenaga dan soal wang adalah kecil. Itu boleh diatasi. Baha menyebutkan masalah kurangnya majalah untuk menampung karya penulis yang banyak. Saya ceritakan pengalaman sidang pengarang. Dewan Masyarakat berhadapan dengan karya penulis kreatif yang semakin bertambah. Dua puluh tahun dulu hanya beberapa buah majalah dan satu dua ruangan sastera akhbar yang menampung karya penulis, dan sekarang tempat menampung tak bertambah, tapi penulis bertambah berlipat ganda. Baha memajukan bakat sastera kebangsaan, tapi medianya tak ada. Secara nekad saya pula menawarkan diri untuk mengerjakan majalah sastera di samping menjadi pengarang Dewan Masyarakat. Tak payah tambah gaji dan tak payah beri elaun, kata saya meyakinkan. Dan Baha segera menyampuk: betul, saya sokong. Dalam hati saya berkata, Baha kalau fasal sokong bukan main cepat. Saya berani menyanggupi, sebab saya tahu teman-teman di Bahagian Umum banyak yang boleh membantu. Selain Baha yang saya harapkan tenaganya dan fikirannya, ada Noor Azam, ada Saleh Daud di samping Pak Awam (Awam il-Sarkam). Wijaya Mala (Almarhum), Abdullah Hussain, Kemala dan lain lagi.\nBegitulah sekadarnya bagaimana saya menjadi pengarang Dewan Sastera di samping pengarang Dewan Masyarakat.\nBagaimana pengalaman sdr. menerbitkan isu pertama Dewan Sastera?\nUsman: Sepuluh tahun dulu bukan macam sekarang. Sebagaimana dengan majalah Dewan Masyarakat, begitulah dengan Dewan Sastera, kami sidang pengarang kononnya jadi \u201cpakar\u201d dalam semua bidang kerja penerbitan. Daripada mengarang dan menerima karangan, daripada membaca dan mengedit atau menuliskan kembali, daripada menyemak pruf dan mencari gambar atau ilustrasinya, sampailah kepada menentukan ukuran, memilih type-face untuk tajuk dan menyediakan iklannya. Dan daripada semua ini sampailah kepada membuat lay-out, menentukan gambar kulit dan memilih warnanya dan menunggu di percetakan sehingga majalah terbit.\nPenerbitan keluaran pertama Dewan Sastera agak kelam-kabut. Maklumlah, benda baharu dan ini merupakan tambahan tugas yang nyata tidak mudah. Beban menerbitkan Dewan Masyarakat ditambah dengan Dewan Sastera, dengan tenaga kuda yang kecil. Sidang pengarangnya ialah Abdullah Hussain dan Ahmad Kamal Abdullah (Kemala). Anehnya, orang yang bertungkus-lumus dengan saya di percetakan sepanjang malam membidani Dewan Sastera ialah Latiff Mohidin. Ketika itu, Latiff bukan saja masih solo, tetapi juga dia bekerja dengan dirinya sendiri. Latiff tinggal di rumah saya dan kadang-kadang ikut saya ke Dewan (pejabat). Jadi saya pergunakan bakatnya dan minatnya untuk membantu saya di percetakan. Latiff senang dengan suasana demikian \u2013 malangnya dia kerja tanpa upah. Latifflah yang membantu saya dalam soal teknik Dewan Sastera, malah di samping membaca pruf drama sebabak Yukio Mishima yang diterjemahnya untuk keluaran tersebut saya minta Latiff meneliti pruf karangan-karangan lain.\nJadi kalau saudara lihat teknik lay-out Dewan Sastera sekarang, meskipun sudah berbeza dengan teknik lay-out keluaran pertama, namun teknik pada halaman pertama Dewan Sastera tetap kekal sebagai gaya yang telah diukir oleh Latiff Mohidin.\nMalam itu saya dan Latiff berada sepanjang malam di Percetakan Art, Jalan Riong, Kuala Lumpur menyemak pruf penghabisan. Ketika dinihari Latiff menyatakan perutnya lapar. Kami keluar mencari kedai yang masih buka. Di sebuah kedai kopi di mana penjaganya setengah tidur kami makan roti bakar dan minum kopi. Kami bawa roti dan kopi untuk teman-teman pekerja cetak. Pukul 6.00 pagi, 13 Januari 1971, saya dan Latiff masing-masing membawa pulang senaskhah seorang majalah Dewan Sastera keluaran sulung yang sama kami bidani.\nPihak Dewan Bahasa tidak berani mencetak banyak. Cetakan pertama sebanyak lima ribu naskhah saja. Sambutannya menggalakkan. Cetakan bulan Januari habis. Ditambah lagi tujuh ribu naskhah untuk bulan Februari. Juga habis. Beberapa bulan kemudian dicetak sebanyak sepuluh ribu naskhah. Sambutan para penulis juga menggalakkan. Kami menerima sumbangan yang tidak terperi banyaknya. Sajaklah yang paling banyak.\nApakah pengalaman-pengalaman menarik sdr. sepanjang menjadi pengarang Dewan Sastera dari tahun 1971 hingga 1979?\nUsman: Pada suatu hari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Tuan Haji Sujak Rahiman memanggil saya ke pejabatnya. \u201cMan, cuba baca ini,\u201d katanya. Misainya yang agak jarang itu senget oleh kuak senyumnya. Saya membaca dua buah sajak oleh Haji Sujak. Isi sajak itu boleh tahan, tapi penulisannya agak lemah. \u201cKalau boleh disiarkan, siarkanlah. Saya syok nak belajar-lajar menulis. Bercampur dengan awak semua orang gila-gila, saya tertarik nak mencuba bakat saya menulis.\u201d Tuan Haji Sujak memang ramah dan rapat dengan Bahagian Umum. Selain peramah, beliau suka bergurau dan menyebut para penulis, terutama penyair sebagai \u201corang gila-gila\u201d. Kata-kata ini sebagai panggilan yang manis dan berisi keramahan.\nBeberapa minggu kemudian Tuan Haji Sujak bertanya: Bagaimana sajak saya? Boleh disiarkan? Saya jawab, sajak itu sedang dalam pertimbangan sidang pengarang. Tak lama kemudian bila bertemu dengannya ditanya lagi. Akhirnya saya jawab dengan terus terang bahawa sajak itu tak dapat dimuatkan sebab nilainya masih kurang. Beliau menganggukkan kepada. Tak ada canlah saya nak jadi penyair, katanya bermuram durja. Kemudian secara bergurau Tuan Haji Sujak berkata: Sebagai bos saya boleh perintah siarkan, tapi saya hormati tanggungjawab awak.\nBagaimanapun sajak Tuan Haji Sujak itu kami siarkan juga bila Dewan Sastera menyambut hari lahirnya yang kelima \u2013 satu keluaran yang kami fikir sesuai menyiarkan sajak tersebut untuk rakaman. Saya sebutkan ini semata-mata sebagai salah satu pengalaman seorang editor dari seribu pengalamannya menghadapi masyarakat penulis. Pengalaman lain, bila akhirnya pada suatu hari dalam bulan Julai 1979, beberapa hari sebelum hari lahir saya yang kelima puluh, tangan saya tidak dapat digerakkan untuk menyunting sebuah karangan. Saya meminta Dinsman menghantar saya ke klinik seorang doktor, teman saya, yang tidak jauh dari Dewan Bahasa. Teman doktor itu setelah memeriksa saya segera menasihati saya pergi ke hospital. Kerana kebetulan sebelah malam nanti ada sudah rancangan untuk hari lahir saya, nasihatnya itu saya minta ditangguhkan. Dia segera menjawab: \u201cTongkat, kalau sudah mati tak guna pergi hospital. Siapa yang mahu mati?\u201d Masa itu juga saya minta Dinsman bawa saya ke hospital. Dan bermulalah penyakit orang kota di abad dua puluh yang pernah saya sebutkan dalam drama \u201cTamu Bukit Kenny\u201d \u2013 darah tinggi dan lemah jantung.\nMaka lahirlah Dewan Sastera, yang sejak beberapa lama menjadi buah mimpi begitu ramai penulis tanah air. Terbitlah sebuah majalah yang mulanya dikendalikan oleh Kamaludin Muhammad (Keris Mas) sebagai ketua pengarangnya, dengan Usman Awang, Abdullah Hussain dan Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) sebagai sidang pengarangnya.\nDemikian suka duka Usman Awang mengendalikan Dewan Sastera selama hampir sepuluh tahun. Demikian jugalah majalah tersebut mengalami segala perubahannya melalui kemajuan yang dicapai oleh kemajuan penerbitan dan perkembangan kesusasteraan itu sendiri. Kini Dewan Sastera telah melalui dekadnya yang pertama. Ia mula memasuki dekadnya yang kedua. Apakah harapan dan impian Dewan Sastera menghadapi era baharunya ini? Memadailah saya memetik kata-kata Datuk Haji Sujak Rahiman, ketika itu Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka, dalam kata sambutannya untuk lima tahun Dewan Sastera (Januari 1976): \u201cDan saya tidak dapat menyembunyikan harapan saya yang amat besar supaya majalah ini terus hidup selama-lamanya untuk mengatasi soal-soal yang kita hadapi dalam perjuangan menghidup dan memajukan kesusasteraan kita. Dan ini tidak akan dapat berlaku kalau tidak dengan bantuan para sasterawan, para penulis dan para intelek yang selama ini telah menunjukkan dan memberikan kerjasamanya yang amat bererti.\u201d\n_________________________\nS. Jaafar Husin ialah mantan editor Dewan Sastera Mei 1982 hingga Disember 1986." "Persidangan Antarabangsa MBBY 2021 \u2013 Cerita untuk Kelangsungan Hidup\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMalaysian Board on Books for Young People (MBBY) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Universiti Selangor (UNISEL) dan Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020 menganjurkan \u201cMBBY International Conference on Children and Books 2021\u201d pada\u00a0 16 dan 17 April 2021 bersempena dengan penobatan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 oleh UNESCO.\nPersidangan tersebut ialah persidangan keenam yang diadakan oleh MBBY dan yang pertama kali diadakan secara dalam talian dan secara bersemuka ketika negara masih lagi berhadapan dengan pandemik COVID-19. Persidangan ini juga satu daripada aktiviti yang diadakan sebagai persediaan sebelum berlangsungnya Kongres International Board on Books for Young People (IBBY) Antarabangsa ke-38 di Putrajaya pada 5 hingga 8 September 2022.\nPersidangan tersebut telah dirasmikan oleh wakil Datuk Bandar Kuala Lumpur, Encik Saifol Mazli Ahmad, Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar. Hadir sama dalam majlis perasmian tersebut ialah Dato\u2019 Ahmad Redza Ahmad Khairuddin (Presiden IBBY Malaysia), Prof. Dr. Ahmad Sidin Ahmad Ishak (Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Persidangan dan Timbalan Presiden IBBY Malaysia), Dr. Rosmani Omar (Ketua Editor Bahagian Majalah, Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka), Encik Sheikh Faisal Sheikh Mansor (wakil urus setia Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020) dan Puan Mohana Gill (penulis buku). Dalam majlis tersebut, Puan Mohana Gill telah memberikan sumbangan buku kepada Perpustakaan Kuala Lumpur sebagai galakan untuk menanam minat membaca dalam kalangan masyarakat terutamanya kanak-kanak.\nPersidangan yang dianjurkan tersebut membawa tema \u201cStories for Survival\u201c. Tema ini bertepatan dengan situasi pandemik yang dihadapi oleh dunia pada masa ini yang menyebabkan kanak-kanak dan golongan muda perlu berhadapan dengan lebih banyak cabaran untuk mengadaptasi diri mereka bagi mendapatkan bahan bacaan dan pembelajaran. Melalui perihal ini, buku dan sastera memainkan peranan penting dalam membantu mereka memahami dan mengatasi situasi sukar yang melingkari mereka.\nPersidangan ini turut mengetengahkan cara penerokaan sastera, buku dan aktiviti literasi digunakan pada masa-masa mencabar dan bagaimana anak-anak dan orang muda berjaya dalam hidup dengan harapan yang positif. Persidangan ini juga menerangkan literasi representasi kelangsungan hidup dan strategi mengatasi masalah pada masa yang sukar.\nMenurut Dato\u2019 Ahmad Redza Ahmad Khairuddin, Presiden IBBY Malaysia,\nSaya sangat berharap agar persidangan ini akan membincangkan pelbagai aspek selain daripada tema yang diketengahkan, \u201cStories for Survival\u201d, dan akan mengemukakan cadangan yang relevan yang akan menuju ke dunia yang lebih baik, lebih sihat, lebih meriah untuk anak-anak dan orang muda kita.\nPersidangan yang berlangsung selama dua hari tersebut menampilkan pembentang dari Malaysia, Korea Selatan, Jepun, Sepanyol dan USA. Dalam persidangan tersebut, Dr. Sharifah Aishah Osman dari Univeristi Malaya telah memberikan ucap utama dengan tajuk pembentangan \u201cBeyond Survival: Narratives of Empowerment and Implications for the Advancement of Malaysia Youth Literature\u201d. Prof. Dr. Sidin Ahmad Ishak selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Persidangan telah membentangkan hasil rumusan daripada persidangan tersebut dan majlis berakhir dengan ucapan penutup oleh Dato\u2019 Ahmad Redza Ahmad Khairuddin, Presiden IBBY Malaysia." "Bahasa dan Persuratan Asas Pembinaan Jati Diri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bahasa dan persuratan dalam aspek falsafah dan epistemologi dapat dijadikan landasan dalam pembinaan tamadun. Itulah antara isi yang diucapkan oleh Pengerusi Lembaga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pengarah Institut Alam dan Tamadan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Sri Profesor Dr. Awang Sariyan dalam ucaptama Sidang Kemuncak Penulis Malaysia ke-2 (SKPM2) di Rumah PENA pada 10 April yang lalu.\nBeliau menyatakan, jika tidak melakukan sedemikian, maka bahasa dan persuratan hanya dianggap kegiatan rutin bagi golongan sastera yang tidak melibatkan sains, teknologi dan sebagainya.\n\u201cNamun begitu, menginsafi hak bahasa yang merupakan nikmat kurniaan Allah pada sekalian manusia, kita harus melihat bahasa dan persuratan yang demikian besarnya dalam pembinaan jati diri,\u201d jelas beliau.\nBeliau menggunakan firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 31 untuk menjelaskan bahawa Allah mengisyaratkan kepentingan bahasa sebagai unsur pembinaan jati diri. Selain itu, Dr. Awang juga berkata bahawa ayat tersebut merupakan perkara yang dapat menggerakkan motivasi dan keaktifan manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi.\nDr. Awang menjelaskan, Allah mengurniakan setiap bangsa satu bahasa seperti yang terdapat dalam Surah al-R\u00fcm ayat 22, yang menunjukkan kenyataan bahawa pelbagai bahasa juga merupakan sunnatullah, iaitu merupakan suatu ketetapan Allah. \u201cOleh itu, bangsa itulah yang wajib mengimarahkan, memakmurkan dan memajukan bahasa mereka,\u201d tambah Dr Awang.\nWalau bagaimanapun, beliau juga menyatakan perkara tersebut telah disedari dan diinsafi oleh bangsa-bangsa yang bukan Islam seperti negara Perancis. Menurutnya, walaupun mereka tidak mempunyai badan seperti DBP, mereka mempunyai sebuah badan bukan kerajaan yang diberikan amanah oleh kerajaan mereka untuk mengendalikan perancangan dan amanat bahasa dan persuratan.\n\u201cBukan itu sahaja, badan tersebut juga diberi sedikit amanah dan wibawa untuk mengambil tindakan undang-undang, seperti terdapatnya berita pada beberapa tahun lepas bahawa badan tersebut mengenakan beberapa ribu euro kepada sebuah syarikat kerana tidak menggunakan bahasa Perancis dalam laman web mereka,\u201d jelas Dr. Awang.\nMenurutnya, perkara tersebut yang sepatutnya dicontohi oleh kerajaan Malaysia dengan memberi sedikit wibawa kepada DBP untuk mengambil undang-undang jika perlu.\nBeliau juga banyak menceritakan perkaitan sejarah dengan bahasa, salah satu daripadanya ialah hubungan dengan kerajaan Turki Uthmaniyah pada fasa-fasa yang lebih kemudian dalam meletakkan asas-asas tertentu semasa pemerintahan Alam Melayu.\nDi samping itu, Dr. Awang ada menyatakan terdapat penjelasan daripada Persatuan Manuskrip Antarabangsa tentang kewujudan kisah-kisah Melayu dalam manuskrip mereka, iaitu Turki dan Arab. \u201cOleh itu, perlu dikaji tentang persepsi orang Arab, Turki dan Parsi terhadap orang Melayu, sebagaimana yang ada dalam kitab historiografi mereka atau dalam teks-teks klasik yang lain.\u201d\nBeliau juga menjelaskan, seni sastera telah menjadi medan penyatuan fikrah, sikap dan perasaan baik melalui puisi mahupun prosa. \u201cKehebatan tokoh sastera Melayu seperti Hamzah Fansuri, iaitu ahli tasawuf, akidah dan ilmu kalam, dapat mencernakan segala bentuk ilmu dalam bentuk syair. Beliau merupakan tokoh yang sukar ditandingi sehingga kini,\u201d tambah beliau.\nDr. Awang juga berkata bahawa Gurindam Dua Belas Raja Ali Haji yang muncul bersandarkan syariat dan akidah Islam. Ungkapan dan diksi digunakan dalam gurindam ini berdasarkan tasawur atau pandangan tentang sesuatu dan sarwa, yang bermaksud pandangan dunia." "SKPM 2 Kemuka Idea Atasi Masalah Lapuk, Lakar Kejayaan Akan Datang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sesuai dengan namanya, Sidang Kemuncak Penulis Malaysia ke-2 (SKPM 2) di Rumah PENA pada 10 April 2021 yang lalu wajar dihadiri ramai Sasterawan Negara (SN) yang masih hidup, sama ada sebagai pemakalah ataupun ahli panel forum. Tanpa mengira temanya, \u201cSastera, Bahasa dan Budaya Pemersatu Bangsa\u201d masih relevan atau sudah basi, kehadiran SN membuatkan SKPM 2 amat bermakna, terutama pada sesi pembentangan kertas kerja dan forum. Cuma, oleh kerana turut menyentuh budaya, lebih menarik jika ada Seniman Negara yang ikut serta dan mengambil bahagian. Empat orang SN menghadiri SKPM 2, iaitu Dato\u2019 Dr. Anwar Ridhwan, Datuk Dr. Siti Zainon Ismail,Datuk Baha Zain, dan Datuk Dr. Zurinah Hassan.\nTokoh bahasa dan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pengarah Institut Alam dan Tamadan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Sri Profesor Dr. Awang Sariyan turut membuka tirai SKPM 2 dengan ucaptama, yang dimudahcarakan oleh Setiausaha Agung PENA, Dr. Shamsudin Othman.\nSebelas orang penulis serta pengkritik sastera baharu dan lama tanah air, termasuk dua orang penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara, Dr. Lim Swee Tin dan Datuk Jasni Matlani, Nisah Haron, dan Muhammad Lutfi Ishak (ahli panel pembentangan sesi dua, \u201cSastera dalam Era Revolusi Industri 4.0\u201d, dimudah cara oleh Saifullizan Yahaya); Prof. Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman, Dr. Raja Rajeswari a/p Seetharaman, Prof. Dr. Hashim Ismail, dan Dr. Abang Patdeli Abang Muhi (ahli panel pembentangan sesi pertama, \u201cMenggali Kearifan Sastera untuk Penyatuan Bangsa\u201d, dimudah cara oleh Dr. Norzuraina Mohd. Noor) telah menjayakan SKPM 2.\nTurut menjadi ahli panel pembentangan forum (dimudah cara oleh AJK PENA, Mohd. Khair Ngadiron) ialah Ketua 1 Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan, Datuk Che Shamsudin Othman atau Dinsman (Presiden Seniman Paksi Rakyat) dan Dr. Ramzah Dambul.\nWalaupun tema SKPM 2 boleh dianggap menarik, tetapi beberapa orang pemakalah dan ahli panel forum tidak teruja, malah mengkritiknya kerana klise dan membosankan. Ada juga yang membangkitkan isu perbezaan jumlah hadiah sayembara bagi novel, cerpen dan puisi.\nDr. Awang dalam ucaptamanya menegaskan, sastera bukan untuk orang sastera sahaja, tetapi orang sastera memang memerlukan bahasa sebagai unsur jati diri. Beliau menyesali persepsi salah, iaitu penulis lebih dianggap sebagai sasterawan, sedangkan penulisan tidak hanya dalam bidang sastera sahaja.\nDinsman pula menganggap tema SKPM 2 tidak perlu diperdebatkan. Masalah bangsa bersatu, katanya, tidak akan selesai selagi ada pengasingan oleh pihak berkuasa terhadap sasterawan dan budayawan.\nSPKM 2 dianjurkan oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) bersama-sama Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sesi pembentangan kertas kerja dan forum serta resolusi SKPM 2 berlangsung di Dewan Usman Awang, Rumah PENA. Sementara sesi Malam Baca Puisi PENA-SKPM-KLWBC diadakan di Panggung Sutung Umar RS, Rumah PENA.\nMenteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menyempurnakan perasmian SKPM 2. Turut hadir ialah Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, dan Pengarah Eksekutif DBKL merangkap Ketua Sekretariat KLWBC2020, Encik Anwar Mohd. Zaini.\nSKPM 2 juga diisi dengan penyampaian hadiah Sayembara Penulisan KLWBC 2020 (tiga pemenang utama dan lima hadiah penghargaan masing-masing bagi Hadiah Puisi, dan Hadiah Novel), serta pelancaran buku pemenang sayembara tersebut oleh Tan Sri Annuar dan Anwar.\nDalam ucapannya, Annuar Musa mengatakan beliau lebih suka jika acara seperti SKPM diadakan di Rumah PENA pada masa akan datang. Beliau mengatakan sedemikian sebagai reaksi ucapan alu-aluan Dr. Mohamad Saleeh bahawa PENA menganjurkan SKPM 2 dengan perbelanjaan yang kecil. Tambah Annuar Musa, walaupun berterusan di tempat yang sama, bantuan kewangan akan tetap dihulurkan kepada PENA.\n\u00a0\nResolusi Baharu\nResolusi SKPM 2 yang dibentangkan oleh Dr. Saleeh menyentuh aspek sastera kebangsaan, Kuala Lumpur sebagai Kota Budaya, memartabatkan bahasa Melayu, tulisan Jawi, dan pelestarian kebudayaan serta kesenian. Antara yang menarik dalam resolusi tersebut, termasuk memperkasakan sastera di sekolah dan institusi pengajian tinggi sebagai asas pengukuhan keperibadian negara bangsa, menyebarluaskan karya sastera ke pelbagai peringkat dan golongan profesional (kedutaan luar negara atau badan korporat lain), dan mewujudkan atase sastera pada peringkat kedutaan untuk memperkenalkan dan menyebarluaskan sastera Melayu.\nBaginya, pihak kerajaan perlu membawa sasterawan atau penulis sebagai delegasi rasmi negara untuk mempromosikan sastera. Resolusi itu turut menyentuh penubuhan Majlis Sastera Kebangsaan sebagai badan pemikir yang bersifat autonomi, tetapi berakauntabiliti kepada Jabatan Perdana Menteri (dianggotai pelbagai individu berkepentingan). Majlis Sastera Kebangsaan berperanan sebagai pemegang taruh bidang kesusasteraan untuk menyemarakkan pengiktirafan, pengkaryaan, kegiatan apresiasi, penataran bakat, kemahiran dan keilmuan, merancang strategi pemasaran karya di dalam dan luar negara, serta mencipta peluang pekerjaan baharu berasaskan modal insan kreatif dan inovatif.\nResolusi itu turut menekankan hasrat untuk mewujudkan Dasar Sastera Negara untuk mengabsahkan bidang kesusasteraan sebagai suatu hasil kreativiti yang sama nilainya dengan bidang lain dalam agenda pembangunan negara. Ppenggubalannya akan dapat dijadikan panduan, landasan dan hala tuju dalam penciptaan karya, penerbitan, pengedaran bagi memenuhi aspirasi nasional.\nResolusi itu turut mencadangkan agar diwujudkan Anugerah Persuratan Melayu-Islam Nusantara yang berprestij, dan disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagaimana Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) yang disampaikan oleh Raja Thai.\nBerkenaan bandar raya Kuala Lumpur pula, resolusi menyarankan agar Kuala Lumpur dan Putrajaya dijadikan sebagai \u201cKota Budaya\u201d bagi mengimbangi pembangunan fizikal dan kemajuan material. Hal ini telah dilakukan oleh banyak negara maju yang tidak berfokus pada tamadun bercirikan pembangunan ekonomi semata-mata.\nDalam memartabatkan bahasa Melayu pula, resolusi SKPM 2 memartabatkan dan menegaskan kedudukan bahasa Melayu dalam pentadbiran awam kerajaan, selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, dan memberikan nilai dan status yang sewajarnya kepada penerbitan karya ilmiah dalam bahasa Melayu, terutama pada peringkat universiti.\nResolusi SKPM 2 juga menyarankan agar tulisan Jawi diiktiraf sebagai khazanah nasional dengan mengembangkan penggunaannya di pelbagai sektor, meluaskan pengajarannya di sekolah, dan menambahkan bilangan korpus penerbitannya agar masyarakat tidak terputus daripada warisan bangsa yang unik ini.\nDalam aspek kebudayaan dan kesenian pula, resolusi itu melihat bahawa pengajaran kesenian dan kebudayaan yang berteraskan kebudayaan murni perlu diperhebat dalam kalangan masyarakat dan sistem pendidikan. Hal ini demikian kerana, pendidikan secara rasmi atau tidak rasmi akan mampu membentuk kefahaman secara halus dan lebih berkesan daripada pemaksaan.\nSenarai Pemenang Sayembara Penulisan Puisi KLWBC 2020\nHADIAH UTAMA | Jasni Matlani untuk Minatour Yang Bijaksana dalam Labirin Pulau Kami, Nazri Hussein (Husna Nazri) untuk Ratib Fakir dan Qasidah Zikir Terakhir, dan Indra Jokina untuk Dalam Mimpi Yang Bermimpi.\nHADIAH SAGU HATI | Rohaiyah Jumin untuk Rumah Api, Roslan Jomel untuk Nipah, Mohamad Shafiq Mahamad Said (Shafiq Said) untuk Matahari Bunga Telang, Rosmiaty Shaari untuk Ketika Isyarat, dan Azizah Md. Saad untuk Menghirup Ribut Buih.\nSenarai Pemenang Sayembara Penulisan Novel KLWBC 2020\nHADIAH UTAMA | Hafizah Iszahanid untuk Kuala Lumpur di Sebalik Bulan, Amer Hmzah L. Kadir untuk Sekepal Hikayat, dan Mahizan Husain untuk Menunggu Tuan Juragan yang Belum Pulang.\nHADIAH SAGU HATI | Mazni Md. Ramly untuk Hati Kintsugi, Roydy Roykidy untuk Embok Nyang Endoi, Aminah Mokhtar untuk Jamung-jamung, Jaya Ramba untuk Petunjuk Jalan, dan Ruhaini Matdarin untuk Akhir dan Awal yang Berlawanan." "Contohi Semangat I-Ching dan Cheng Ho dalam Memperkasakan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan fahaman politik harus mengambil daya usaha untuk memperkasakan dan melestarikan bahasa Melayu, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Malahan ibu bapa pelbagai kaum serta warga pendidik juga harus menekankan kepentingan bahasa Melayu dalam kalangan anak-anak semasa mereka masih kecil lagi. Bak peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.\nSehubungan dengan itu, Persatuan Pusat Kebudayaan Han Malaysia (HAN) yang menjalankan aktiviti penerapan bahasa dan budaya Cina dalam kalangan masyarakat Cina di dalam negara telah melancarkan satu inisiatif baharu. Inisiatif tersebut adalah untuk memperkasakan bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak Cina di Malaysia dengan penggunaan teknologi maklumat atau kemudahan internet.\nYB Senator Tan Sri Dato\u2019 Seri Utama Dr. Rais Yatim, Yang di-Pertua Dewan Negara, yang juga Pengerusi Yayasan Budi Malaysia, hadir merasmikan Majlis Pelancaran Program Inisiatif tersebut. Dalam ucapannya, beliau menyarankan agar selain warga pendidik, pemimpin masyarakat serta ahli politik juga perlu tekad dan berusaha untuk memperkasakan dan menerapkan budaya penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat. Kanak-kanak Malaysia hendaklah diterapkan dengan budaya penggunaan bahasa Melayu semasa mereka kecil lagi.\nMalahan, beliau turut menyarankan agar keperluan untuk menggunakan bahasa Melayu dalam kalangan golongan dewasa juga perlu diambil perhatian kerana mereka juga bersikap alpa terhadap kepentingan dan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan harian. Beliau juga menzahirkan perasaan dukacita dan terkilan kerana ada sesetengah ahli politik yang seharusnya menyahut dan berganding bahu dengan Perdana Menteri dalam memartabatkan bahasa Melayu didapati lebih ghairah dalam mengejar kuasa politik berbanding dengan usaha memperkasakan bahasa Melayu seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob.\nBeliau turut menggesa rakyat Malaysia secara amnya dan orang Melayu secara khususnya mengimbau sejarah ekspedisi dua orang tokoh pelayar China, seperti I-Ching dan Cheng Ho, yang pernah belayar ke Nusantara pada zaman dahulu. Menurut catatan I-Ching, beliau pernah singgah di Fu-Shih (Srivijaya), Mo-Lo-Yue (Melayu) dan Ka Cha (Kedah) pada tahun 671 Masihi.\nCheng Ho pula melawat Melaka sebanyak lima kali pada abad ke-14 (1405-1433 Masihi). Mereka belayar dengan tujuan untuk menyebarkan budaya dan keagungan negeri China. Catatan itu menunjukkan rasa terharu mereka dengan budaya dan ketamadunan Melayu serta penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca\u00a0dalam kalangan rakyat\u00a0dan pedagang di Nusantara.\nSehubungan dengan itu, Tan Sri Dato\u2019 Seri Utama Dr. Rais Yatim menggesa rakyat Malaysia agar memperluas minda dan menerapkan semangat kedua-dua orang tokoh pelayar tersebut dalam diri yang bukan sahaja mencapai kemajuan dalam bidang ekonomi semata-mata, malah dalam mengembangkan bahasa Melayu ke seluruh dunia.\nBeliau turut menyarankan agar rakyat Malaysia menyahut dan menyokong usasa Perdana Menteri yang banyak mengambil berat dan berdaya usaha terhadap usaha memartabatkan bahasa Melayu di dalam dan di luar negara. Hampir 300 juta orang di seluruh dunia menggunakan bahasa Melayu, malah bahasa ini merupakan bahasa ke-7 terbesar dan terpenting di dunia.\nOleh itu, beliau juga menyarankan agar rakyat mengambil iktibar daripada langkah Perdana Menteri dalam hal pemartabatan bahasa Melayu, dan bukannya asyik dan ghairah mengejar kuasa politik semata-mata untuk mengisi jawatan dalam kerajaan. Sebaliknya, pemimpin masyarakat serta ahli politik semasa di Malaysia mahupun masa hadapan perlu menghayati dan menggunakan serta memartabatkan bahasa Melayu ke persada dunia.\nTidak dapat dinafikan bahawa ledakan teknologi maklumat yang melahirkan fenomena Google telah menimbulkan proses osmosis budaya asing dalam kalangan rakyat terutamanya anak muda Malaysia. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan serta ahli politik perlu mengambil langkah-langkah untuk mengukuhkan jati diri serta menerapkan kesungguhan politik (political will) dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan rakyat Malaysia. Malahan, parti politik dan persatuan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) pelbagai kaum boleh mencontohi langkah Persatuan HAN dalam memperkasakan bahasa Melayu dalam kalangan pengikut dan ahlinya.\nMenurut Tan Sri Dato\u2019 Seri Utama Dr. Rais Yatim, keghairahan mengejar kuasa politik juga boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat yang berbilang bangsa dan keturunan malah etnik. Bahasa dan budaya yang mampu menyatupadukan mereka. Bahasa Melayu merupakan jiwa rakyat Malaysia. Oleh itu, pendidik dan pemimpin masyarakat mahupun ahli politik tidak harus berasa bosan dalam memperkasakan bahasa Melayu. Sebaliknya, perlu sentiasa bersemangat untuk melestarikan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia.\nMemandangkan penggunaan bahasa Melayu kian merosot dalam kalangan rakyat terutama ahli politik dan kanak-kanak yang terpengaruh dengan budaya Google, maka ucapan dan saranan Tan Sri Dato\u2019 Seri Utama Dr. Rais Yatim kena pada masanya, malah dijangka dapat menyuntik semangat dan dorongan kepada para pendidik mahupun ahli politik dan pemimpin NGO untuk mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dalam \u00a0memperkasakan dan melestarikan bahasa Melayu di dalam negara dan di persada dunia.\nBahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan dalam kalangan rakyat malah menjadi lingua franca dalam kalangan para pedagang di kawasan Nusantara atau Archipelago Melayu perlu digalas semula sebagai bahasa perantaraan di Malaysia atau ASEAN, bahkan pada peringkat antarabangsa. Bahasa Melayu adalah tunjang dan tiang seri perpaduan negara." "Festival Puisi Antarabangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u2013 Bermula 19 hingga 22 April 2021, pemuisi dari 19 buah negara termasuk Malaysia akan mendeklamasikan puisi dalam bahasa Melayu sempena Festival Puisi Antarabangsa.\nAcara itu yang akan disiarkan dalam media sosial, Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah sebahagian daripada acara Kuala Lumpur Ibu kota Dunia (KLWBC) 2020.\nDianjurkan DBP dengan kerjasama Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR), ia akan menampilkan pemuisi dari Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand, China, Vietnam, Korea Selatan, Itali, India, Rusia, Belgium, Timor Leste, Uzbekistan, Azerbaijan, Mauritania, Yaman, Jepun, Belanda dan Australia.\nAntara yang akan mendeklamasikan puisi termasuklah Sasterawan Negara (SN) Profesor Emeritus Muhamad Haji Salleh, SN Dr. Siti Zainon Ismail dan SN Dr. Zurinah Hassan, selain penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) antaranya Datuk Jasni Matlani, Zakaria Ariffin dan Zaen Kasturi.\nAcara itu turut diserikan dengan bacaan puisi oleh penerima SEA Write Thailand, Zakariya Amantayya juga pemuisi Indonesia Joko Pinurbo.\nSelain puisi moden, acara ini turut akan menampilkan puisi tradisional. Istimewanya, kesemua deklamator ini akan mendeklamasikan puisi dalam bahasa Melayu selain puisi dalam bahasa kebangsaan masing-masing.\nAcara itu akan dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan." "Sastera yang Tersisihkan oleh Sastera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKolumnis S.M. Zakir meneliti dan mempamerkan (semacam) gelombang baharu dan segar daripada kumpulan penulis dan karya sastera lapis baharu Malaysia.\nKarya-karya sastera yang berada di luar lingkungan arus perdana ini sememangnya semacam tersisih daripada dunia sastera, tetapi berdiri dengan kekuatan sendiri dalam jiwa pembaca.\nSekitar dekad 2010-an, muncul buku-buku sastera yang terbit di rumah-rumah penerbitan di luar arus perdana. Premis ini dilabel sebagai rumah penerbitan mandiri (tetapi istilah ini bersalahan kemudiannya apabila sebahagian rumah penerbitan ini mendapat dana dalam bentuk geran dan pinjaman yang besar daripada kerajaan, sekali gus ia bukan mandiri lagi). Hal tentang label mandiri atau tidak ini tidak penting, apa yang penting ialah terbitnya banyak buku cerita, antaranya ialah buku-buku sastera.\nAntara buku-buku sastera yang terbit di rumah-rumah penerbitan ini termasuklah Kunang Pesisir Morten oleh Raiha Bahaudin, Debu Bidadari oleh Syafiq Ghazali, Tinju dan Peluru oleh Johan Radzi, Metaskandal oleh Azrin Fauzi, Tari Pasar Perempuan oleh Fazleena Hishamuddin, serta banyak lagi. Malah, penulis mapan di arus perdana seperti Wan Nor Azriq turut menerbitkan novel sasteranya di rumah penerbitan ini, seperti Kala Bulan Bermain Biola. Sementara itu, Fadh Razy menubuhkan Katapilar dan menerbitkan banyak karya sastera berbobot, antaranya termasuk Nokturna, Sepasang Sayap Tumbuh di Bahu dan sebagainya. Begitu juga dengan Legasi Oakheart.\nPenulis-penulis lapis baharu yang menulis sekitar dua dekad awal abad ke-21 mencari ruang kebebasan ekspresi di luar penerbitan arus perdana. Hal ini mungkin kerana (antaranya) timbulnya stigma terhadap sastera arus perdana. Penulis lapis baharu ini kemungkinannya sama ada mencari ruang berkarya yang lebih terbuka, selesa dengan rumah penerbitan kecil yang tidak banyak benang merah, karya lebih cepat diterbitkan atau membawa semangat zaman mereka. Maka, penulis-penulis lapis baharu pada dekad-dekad awal abad ke-21 mencari ruang berkarya yang bukan sahaja memberi mereka ruang berekspresi yang terbuka tetapi memerdekakan mereka daripada apa-apa yang dianggap oleh mereka sebagai \u201crejim\u201d sastera atau bahasa.\nTidak dapat dinafikan, terdapat kekurangan dari segi penyuntingan, tatabahasa dan teknikal penerbitan berbanding penerbitan arus perdana seperti Dewan Bahasa dan Pustaka contohnya, yang cukup tegas dalam hal bahasa dan teknikal penerbitan. Namun, perkara yang ingin dibicarakan di sini ialah soal kehadiran karya sastera di luar penerbitan arus perdana. Muatan yang dibawa oleh karya-karya ini berkisar pada isu yang sangat intim dengan masyarakat, malah meneroka sudut-sudut gelap yang menjadi tabu dalam penerbitan arus perdana. Sejak bila soal seksual, dunia gelap dan sisi kotor masyarakat menjadi tabu secara semu dalam sastera arus perdana tidaklah dapat dipastikan. Sebelumnya, sastera menerima sahaja Sami Mekong, Kuala Lumpur Kita Punya, Pertentangan, Terdedah, Tivi, Songsang, malah Buah Dada karya Ruhi Hayat dan sebagainya.\nDebu Bidadari oleh Shafiq Ghazali ialah hasil sastera yang menarik apabila mengangkat sisi gelap masyarakat di negeri yang dikatup oleh hukum-hukum Islam yang ketat. Keberanian dan kejujuran penulis merupakan suatu kemerdekaan dalam berkarya. Tari Pasar Perempuan oleh Fazleena Hishamuddin turut memiliki faktor ini. Cerpen-cerpen Fazleena bercerita tentang kecurangan, hubungan seksual terlarang dan perasaan bergaul libido yang mencipta ruang kebenaran yang tersendiri. Kedua-dua kumpulan cerpen ini merupakan karya sastera yang baik. Kedua-duanya begitu spontan mencurahkan dan melepaskan segala ekspresi tanpa terbatas pada tabu sosial dan nilai yang dipaksakan ke dalam sastera. Johan Radzi tidak ketinggalan dengan Tinju dan Pelurunya, dan Anas Mohd dengan kumpulan cerpen oleh penerbit yang sama.\nAdakah sastera perlu mengambil alih fungsi kitab hukum dan menjadi polis moral masyarakat? Tidak. Sastera ialah sastera. Sastera membiaskan segala yang baik dan segala yang buruk dalam masyarakat. Sastera membiaskan segala yang suci dan segala yang kotor, malah yang jahanam dalam masyarakat. Maka, kekotoran dan ketidaksucimurnian yang dibawa masuk ke dalam karya-karya ini memberikan kepuasan manusiawi yang benar kepada pembaca (seperti saya, yang sering bosan dengan sastera suci yang dibuat-buat?). Terdapat begitu banyak buku penerbitan mandiri yang meluah polos hal-hal sebegini. Tetapi sebahagian besar lebih kepada luahan emosi yang mengarut dengan bahasa yang lintang-pukang. Sekali gus kekal sebagai bacaan ringan kepada pembaca. Tetapi sebahagian karya penerbitan mandiri seperti judul yang disebutkan membawa muatan sastera dengan bahasa yang punya unsur estetiknya.\nKunang Pesisir Morten oleh Raiha Bahaudin sebuah karya sastera yang mengingatkan saya pada novel Ahad karya Zakaria Salleh. Novel yang mengambil sudut pandang watak kanak-kanak ini membiaskan realiti masyarakat pesisir sungai di Melaka pada tahun 80-an yang sama sekali berbeza dengan apa yang dilihat pada hari ini. Karya ini nostalgik dan sentimental. Turut menyerapkan sisi-sisi cerdik pengkaryaan secara spontan. Sekali gus menjadi bahan sastera yang baik. Metaskandal oleh Azrin Fauzi ialah karya sastera eksperimental yang tekal. Karya Azrin menurut langkah Wan Nor Azriq yang tekal dengan karya-karya garda depannya.\nWan Nor Azriq yang menulis di kedua-dua rumah penerbitan mandiri dan arus perdana meletakkan Kala Bulan Bermain Biola dalam dunia penerbitan mandiri sebagai penunjuk kepada kehadirannya yang tekal. Lokman Hakim juga tidak ketinggalan menunjuk kehadirannya di mana-mana ruang penerbitan (yang terlebih dahulu muncul dalam penerbitan mandiri). Tidak lengkap untuk bercakap tentang sastera di luar penerbitan arus perdana jika tidak menyebut tentang penerbitan Katapilar yang diasaskan oleh Fadh Razy dan Rasydan Fitri. Katapilar menjadi bilik penghasilan karya-karya puisi kontemporari terbaik penulis-penulis lapis baharu, yang kebanyakannya datang daripada hasil penerbitan pemenang sayembara kumpulan puisi Katapilar.\nKarya-karya sastera yang berada di luar lingkungan arus perdana ini sememangnya semacam tersisih daripada dunia sastera, tetapi berdiri dengan kekuatan sendiri dalam jiwa pembaca. Karya-karya ini membawa citra realisme sosial yang menjadikannya dekat dengan masyarakat. Terdapat semacam jalur realisme sosial dalam bentuk kontemporari yang dibawa dalam karya-karya ini. Sekali gus menjadi biasan kepada zaman hari ini. Masih terlalu awal untuk dikatakan karya-karya ini menumbuhkan semangat zaman, apatah lagi penerbit-penerbit mandiri juga telah banyak lenyap dan mematikan karya-karya realisme sosial yang baru mahu tumbuh. Tetapi sekurang-kurangnya, terdapat bibit atau riak kepada suatu gelombang realisme sosial yang tersendiri dalam karya-karya ini.\nSetiap gelombang dalam sastera selalu datang tanpa sedar, daripada reaksi spontan yang berjangkit dari satu orang ke satu orang yang berkongsi perubahan dalam zaman yang sama. Sastera Malaysia hari ini bergerak aktif dan maju dengan lahirnya begitu banyak karya sastera yang kuat malah hebat. Kemungkinan sebuah gelombang akan hadir dari sini, ataupun telah ada riak-riak yang sedang menanti waktu.\n_________________________\nS.M. Zakir atau nama penuhnya Syed Mohd Zakir bin Syed Othman dilahirkan pada 4 Februari 1969 di Kota Bharu, Kelantan. Beliau memulakan kerjaya dalam industri media sebelum menjadi penulis sepenuh masa pada tahun 2000. Sepanjang berkarya, S.M. Zakir telah menerima banyak hadiah dan anugerah sastera, seperti Hadiah Sastera Malaysia 1994/1995 bagi kumpulan cerpen Merengkuh Langit (DBP, 1995) dan Anugerah Sastera Negeri Kelantan bagi kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibrail (Pustaka Nusa, 2001), selain Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil, Hadiah Sastera DBP-Maybank, Hadiah Sastera 100 tahun Kuala Lumpur DBP-DBPKL, Hadiah Formula Malaysia, dan Anugerah GAFIM (kritikan filem). Beliau juga telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Muda Mastera 2010 dan penerima SEA Write Awards (Malaysia) 2011." "Festival Puisi Antarabangsa Membina Jambatan Kerjasama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0 \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan buat julung kalinya mengadakan Festival Puisi Antarabangsa pada 19 hingga 22 April 2021 bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan dan Jerayawara Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020 yang disiarkan secara langsung melalui media sosial DBP. \nFestival tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan. Selain Malaysia, menerusi festival tersebut wakil dari pelbagai negara tampil\u00a0mendeklamasikan puisi atau mendendangkan lagu puisi mengikut irama mereka yang tersendiri yang penuh dengan nilai seni dan budaya.\n\nFesitival yang diadakan secara dalam talian itu merupakan satu pendekatan yang diambil untuk menyeramarakkan program kesusasteraan tatkala seluruh dunia masih lagi terkesan dengan pandemik COVID-19. Pandemik yang melanda seluruh dunia tidak membataskan program kesusasteraan diadakan malahan medium media sosial yang ada kini terbukti berupaya mendekatkan masyarakat di seluruh dunia untuk berkomunikasi dan berpuisi. Puisi bukan sekadar satu bentuk pengucapan malah merupakan wadah tradisi yang lahir daripada akal budi yang membentuk pemikiran generasi kini.\nMenurut Sasterawan Negara, Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh,\nPuisi ialah teras kepada sastera dan teras yang indah pula. Keindahan yang paling cantik terlihat dalam puisi. Kita simpan mutu manikamnya dalam kata-kata kita. Sebab itu puisi itu penting. Dan, puisi itu juga ialah bentuk yang digunakan oleh peribahasa dan pemikiran kita yang terkumpul daripada ratusan generasi dan ribuan tahun. Jadi, itulah makna puisi. Dan, kita juga melihat bentuk-bentuk yang pintar, syair dan jangan lupa pantun.\nMenerusi festival tersebut, Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh turut memberikan penekanan terhadap peri pentingnya pantun yang baru sahaja dijadikan warisan UNESCO pada tahun ini kerana pantun tiada tolok bandingannya di dunia ini berbanding dengan puisi lain seperti haiku. Menurut beliau, puisi seperti pantun boleh digunakan dalam semua perkara daripada mendodoi anak, menggoda wanita, meminang, majlis perkahwinan, adat-istiadat sehinggalah ceramah dan sebagainya. Oleh sebab kepelbagaian fungsinya dan keindahannya, warisan tersebut perlu dijaga dengan baik.\nFestival puisi yang berlangsung selama empat hari dengan tujuh segmen tersebut menampilkan 59 orang pemuisi dari 20 buah negara. Melalui festival tersebut, Malaysia menampilkan Sasterawan Negara seperti Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh dan Datuk Dr. Zurinah Hassan, tokoh bahasa, iaitu Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, dan penerima SEA Write Award seperti Dato\u2019 Prof. Rahman Shaari, Datuk Jasni Matlani, Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin dan Zainal Abidin Suhaili atau Abizai. Tokoh Malaysia yang lain yang turut menyampaikan puisi ialah tokoh pemikiran Melayu (Dato\u2019 A. Aziz Deraman, mantan Ketua Pengarah DBP), Raja Teromba (Datuk Paduka Rosli Saludin), Presiden PEMUISI (Malaysia), Presiden Kelab Penulis KDM, tokoh seni budaya, penerima Anugerah Srikandi Numera 2017, penggiat sastera Siam, personaliti TV (SISO Kopratasa), Persatuan Kebudayaan Orang Asli Perak, para profesor dari univerisiti, penggiat sastera dan juga juara sayembara puisi peringkat kebangsaan.\n\u00a0\n\nPeserta dari Indonesia terdiri daripada tokoh sastera seperti Joko Pinurbo dan Chavchay Saifullah, Tarmizi (Penyair Rumahitam) dan Asrizal Nur (penerima Anugerah Sagang) dan Thailand pula menampilkan Zakariya Amataya (penerima SEA Write Award). Wakil dari Rusia ialah Dr. Victor Pogadaev dan Dr. Surya Suryadi ialah wakil dari Belanda dan mereka merupakan pendidik dan penggiat sastera. Negara lain yang mengetengahkan tokoh sastera menerusi festival puisi tersebut ialah Azerbaijan (Prof. Habib Zarbaliyev), Australia (Prof. Ismet Fanany), Timor Leste (Abe Barreto Soares), Dr. Azim Yuldashev\u00a0 dan Nazokat Mixratillayeva (Uzbekistan), dan Brunei (Dr. Chong Ah Fok). Belgium pula menampilkan Naning Scheid (penggiat Teater), Singapura diwakili oleh Mohd Khair Mohd Yasin (Komposer dan Penulis Lirik terkemuka) dan Itali disertai oleh Stefano Romano (Jurugambar/Penulis terkemuka). Negara Mauritania, Jepun, Yaman, China dan India diwakili oleh pelajar antarabangsa.\nFestival yang diadakan ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelayar media sosial DBP. Festival puisi ini satu\u00a0daripada tanggungjawab DBP bagi mengembangkan bahasa dan sastera serta merapatkan hubungan antara negara melalui program kesusasteraan.\n\nMenurut Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran,\nKita telah membina satu jambatan kerjasama yang erat bagi rakan-rakan yang belum kenal antara satu sama lain, belum lagi mengenali penyair dari negara masing-masing. Ini merupakan satu langkah untuk kita mempererat kerjasama. Insya-Allah, DBP akan menjadikan festival puisi ini sebagai acara tahunan. Seperti harapan Datuk Seri Pengerusi Lembaga Pengelola juga, kita jadikan festival ini sebagai salah satu acara yang kita akan rancang pada setiap tahun dan untuk tujuan bagi sokongan nanti apabila kita mengaktifkan semula Majlis Bahasa Melayu Antarabangsa.\nMenerusi ucapan penutupnya, Ketua Pengarah DBP berharap agar semua pihak memainkan peranan dalam menyokong usaha DBP memperkenalkan atau mengantarabangsakan bahasa Melayu di luar sana." "Kota Wabak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSempena musim COVID-19 masih melanda Malaysia dan dunia, Zulkifli Salleh membaca kembali novel penting Albert Camus, The Plague, dan mencungkil pengajaran daripadanya.\nSejak akhir bulan Januari 2020, The Plague menjadi sensasi global. Dalam beberapa minggu kebelakangan, jualan edisi terjemahan bahasa Inggeris di United Kingdom meningkat lebih 1000 peratus. Di Jepun, naskhah ini terjual dengan hebat sekali berbanding jumlah jualannya selama 31 tahun sebelumnya .\nDalam perkongsian media sosial, warganet mendakwa bahawa Dean Koontz telah lebih awal meramalkan wabak virus korona akan merebak di serata dunia, iaitu pada tahun 2019 hingga 2020. Ramalan ini dikatakan tertulis dalam novelnya terbitan tahun 1981, Eyes of Darkness. Namun begitu, dakwaan itu dikatakan sebahagiannya palsu. Pada hakikatnya, Koontz sendiri menyangkal kerelevanan novel itu dengan wabak COVID-19 (memanggil virus senjata biologi dalam novelnya sebagai \u201cWuhan-400\u201d, namun ciri-ciri virus fiksyen ini tidak sama dengan COVID-19). Sebaliknya, Koontz lebih minat merujuk novel Albert Camus, La Peste, yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai The Plague, yang dianggap berpengaruh dan mencapai tahap klasik. Melalui The Plague, Camus, penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan, dikenali oleh berjuta-juta orang pembaca.\nSejak akhir bulan Januari 2020, The Plague menjadi sensasi global. Dalam beberapa minggu kebelakangan, jualan edisi terjemahan bahasa Inggeris di United Kingdom meningkat lebih 1000 peratus. Di Jepun, naskhah ini terjual dengan hebat sekali berbanding jumlah jualannya selama 31 tahun sebelumnya, dan sekurang-kurangnya sebuah kedai buku terpaksa mencatukan sebuah naskhah untuk satu orang. Ya, di seluruh dunia orang ramai membeli panik The Plague! Penerbit yang mampu melihat keuntungan dalam situasi tergesa-gesa membuat ulang cetak.\nKota Oran, Algeria, negara kelahiran Albert Camus pernah beberapa kali dilanda oleh wabak. Pandemik wabak ketiga kota itu berasal usul dari Yunan, yang kemudian merebak ke Hong Kong dan Canton, dan seterusnya ke seluruh kota dan kota pelabuhan di seluruh dunia. Mark Honigsbau dalam The Pandemic Century: A History of Global Contagion from the Spanish Flu to COVID-19 menyatakan, \u201cDisyaki punca wabak ini merebak daripada Atlanticos, kapal wap batu arang yang tiba di Kota Crescent pada akhir Oktober 1924, selepas belayar dari Oran, Algeria, kota pelabuhan wabak yang terkenal dan diabadikan dalam novel tahun 1947 Camus.\u201d\nDalam The Plague, Camus memulakan naratifnya tentang wabak yang melanda kota Oran. Bagi mengisahkan penularan wabak, Camus memulakan novelnya dengan memerihalkan latar kota itu dan kehidupan sosial penduduknya. Digambarkan sebuah kota yang boleh dikatakan mengalami kemerosotan alam sekitar: keindahan latar dan tumbuh-tumbuhannya mula menghilang. Camus memerihalkan, \u201cHarus diakui bahawa kotanya sendiri tidaklah elok, tetapi kelihatan tenang. Oleh sebab itu, waktu yang cukup lama diperlukan untuk menyedari apa yang membezakannya daripada begitu banyak kota perniagaan di mana-mana pun.\u201d\nPemilihan Oran sebagai \u201ckota wabak\u201d membuatkan Camus cuba menunjukkan yang kota merupakan tapak subur untuk wabak lahir dan membiak. Di kotalah wabak selalu berlaku, seperti Wabak Athens, Maut Hitam (The Black Death) di serata kota Eropah, Eurasia dan Afrika Utara, Wabak Besar London, Marseille, dan terkini, kota Wuhan. Sememangnya, Camus mempunyai pengetahuan tentang wabak yang pernah berlaku di kota-kota, yang dapat diperhatikan melalui pemeriannya:\nBayangan luar biasa yang tidak cocok dengan kota kuning kelabu yang agak ramai pada jam itu, lebih mendengung daripada gaduh. Pendeknya, kota yang bahagia, sekiranya bahagia bisa disertai kemuraman. Ketenangan yang damai dan tidak peduli itu hampir tanpa susah payah mengingkari gambaran dan bayangan lama yang diceritakan tentang bencana tersebut. Misalnya, kota Athens yang terkena epidemik wabak ditinggalkan burung-burung, kota-kota di negara China penuh orang sekarat yang membisu, para narapidana di Marseille menimbun mayat-mayat basah kuyup ke dalam lubang-lubang, pembangunan dinding tinggi di Provence guna menghentikan angin wabak yang dahsyat, Jaffa dengan pengemis-pengemisnya yang menjijikkan; katil-katil lembap busuk yang melekat di tanah Konstantaniah (kini, Istanbul), orang sakit yang dipegang dengan jepitan, barisan doktor yang mengenakan pelitup muka ketika Maut Hitam, persetubuhan orang yang masih hidup di kuburan Milan, gerobak-gerobak orang mati di kota London yang ketakutan. Di mana-mana di semua tempat itu, tanpa henti malam dan siang selalu padat dengan teriakan manusia yang tidak berkeputusan.\n(Sampar/The Plague, diterjemah oleh NH Dini, 1985)\nBagi Camus, \u201ctiada tikus, tiada wabak\u201d. Beberapa wabak yang berlaku sepanjang zaman, dipercayai berpunca daripada tikus atau pinjal, seperti Wabak Justinian, Maut Hitam dan pandemik wabak ketiga. Tikus, seperti yang dicatatkan oleh William H. McNeill dalam Plagues and Peoples, ialah haiwan perosak yang licik. Meskipun kapal sudah diarahkan berlabuh di tengah laut untuk mencegah wabak merebak, haiwan ini masih dapat mendarat. Tikus (dan pinjal) kadangkala boleh datang ke pantai, walaupun manusia dicegah berbuat demikian. Frank M. Snowden dalam Epidemics and Society: From the Black Death to the Present menjelaskan, apabila tikus membawa pinjal yang dijangkiti di dalam bulunya, ia akan jatuh sakit dan mati, maka pinjal akan melompat pula ke badan hangat haiwan yang lain, sama ada roden ataupun manusia. Beliau seterusnya merujuk novel Camus, yang \u201ctidak memeranjatkan, petunjuk pertama wabak yang kerap membawa kematian secara dramatik berlaku di atas jalan.\u201d\nCamus membayangkan musibah yang akan melanda kota Oran dengan kematian tikus-tikus yang luar biasa. Bermula pada 16 April, ketika Dr. Bernard Rieux keluar dari tempat kerjanya, kakinya terpijak seekor tikus mati di ruang tunggu depan pintu. Pada waktu itu, tanpa perhatian, dia singkirkan binatang tersebut lalu menuruni tangga. Akan tetapi, ketika sampai di kaki lima, dia berfikir bahawa tidak mungkin seekor tikus berlegar di situ. Dia berpatah balik untuk memberitahu penjaga gedung, M. Michel. Malam itu juga, sebelum naik ke tempat tinggalnya, sewaktu Rieux berdiri di lorong gedung, dia melihat seekor tikus besar, bulunya basah, muncul dari hujung yang gelap dan berjalan sempoyongan. Binatang itu berhenti seolah-olah mencari keseimbangan, lalu berlari ke arahnya, berhenti lagi, kemudian berputar-putar sambil mengeluarkan suara seperti menjerit. Akhirnya binatang itu tergeletak, darah tersembur dari muncungnya yang setengah terbuka. Kematian tikus secara aneh itu terus menimbulkan kecurigaan Dr. Rieux.\nBagi menunjukkan wabak sedang melanda kota Oran, Camus menunjukkan jumlah tikus mati yang dikumpulkan semakin bertambah, hasil pengumpulan setiap pagi yang semakin banyak. Sejak hari keempat, tikus-tikus mulai keluar untuk mati secara gerombolan. Dari tingkat bawah tanah dan ruang sempit. Dari bilik bawah dan longkang. Tikus-tikus itu naik berurutan memanjang, berjalan terhuyung-huyung dan sempoyongan di tempat terang, kemudian tubuh mereka terbalik dan mati di hadapan manusia. Waktu malam, di koridor-koridor atau di tepi jalan, kedengaran jelas teriakan keriut tikus-tikus itu.\nTatkala jumlah tikus mati semakin meningkat, orang mula dijangkiti penyakit dan ada yang melibatkan kematian. Apabila pesakit dan kematian meningkat berlipat ganda, maka dipercayai bahawa epidemik sedang melanda. Demikianlah keyakinan Dr. Rieux. Daripada perbincangannya dengan Dr. Castel yang pernah berkhidmat lama di China dan meneliti beberapa kes di Paris, Rieux berpendapat, sememangnya yang sedang melanda Oran ialah penyakit wabak, meskipun penyakit itu sudah hilang di dunia Barat (malah Castel sendiri tidak bersetuju). Namun begitu, setelah Castel pula menelaah buku lamanya dan menghabiskan masa berjam-jam di perpustakaan, Castel membuat kesimpulan dan memberitahu Rieux: \u201cTikus-tikus mati kerana wabak atau kerana sesuatu yang mirip sekali dengan wabak. Tikus menyebarkan puluhan ribu kutu yang akan meneruskan jangkitan secara eksponen kalau tidak dicegah tepat waktunya.\u201d\nCamus tidak mengambil masa yang lama untuk memberitahu bahawa wabak sedang melanda kota Oran. Perkataan \u2018wabak\u2019 baru diucapkan untuk pertama kalinya dalam novel ini. Beliau memerihalkan, walaupun bencana ialah sesuatu yang lumrah, manusia selalu tidak bersedia untuk menghadapinya: \u201cDalam sejarah dunia telah terjadi epidemik wabak yang sama banyaknya dengan jumlah perang. Padahal wabak dan perang selalu menyergap manusia tanpa persiapan. Rieux juga tidak bersiap-siap, seperti halnya penduduk kota kami. Sebab itu, harus dimengerti kebimbangannya. Begitu pula harus dimengerti betapa dirinya terbelah antara kekhuatiran dan kepercayaan.\u201d\nPrefect atau Gabenor Wilayah akhirnya mengumumkan \u201csituasi darurat sampar. Tutup kota!\u201d Penutupan kota boleh dikatakan sama seperti pelaksanaan kawalan keluar masuk (lockdown) di banyak negara atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara kita. Pihak berkuasa melaksanakan langkah penutupan kota yang ketat, iaitu tidak membenarkan penduduk kota itu keluar masuk sesuka hati. \u201cSetelah beberapa hari mempertimbangkan kemungkinan mereka yang telah pergi sebelum epidemik, pihak berkuasa memberi izin. Namun begitu, Prefecture juga menekankan bahawa mereka yang kembali itu sama sekali tidak akan bisa keluar lagi dari Oran. Mereka bebas datang, namun mereka tidak bebas pergi lagi.\u201d Pihak berkuasa juga mengawal kota dengan ketat dan tidak memungkinkan penduduknya melarikan diri.\nSikap orang ramai yang tidak memandang berat akan bencana yang sedang dan akan menimpa mereka, dicatatkan oleh Camus, \u201cMulai saat ini, dapat dikatakan wabak menjadi masalah yang melibatkan kami semua. Hingga waktu itu, meskipun timbul kejutan dan kekhuatiran kerana kejadian aneh tersebut, masing-masing penduduk kota masih melanjutkan sebisanya kegiatan di tempat biasanya. Dan pastilah hal itu akan berlangsung demikian.\u201d Bahkan, pertunjukan opera tetap diadakan seminggu sekali. Panggung wayang pula tetap terus mengadakan tayangan.\nPenduduk kota Oran meneruskan kehidupan harian mereka seperti lazim, dengan memenuhi jalan-jalan atau duduk-duduk di teres kafe. Pada umumnya, mereka bukan pengecut, lebih saling berseloroh daripada mengeluh, dan kelihatan senang hati menerima ketidaknyamanan yang tentunya tidak akan berlangsung lama. Jadi, kehidupan lahiriah dapat diselamatkan.\nBanyak kajian yang menunjukkan bahawa pelaksanaan kawalan keluar masuk ketika penularan COVID-19, sehingga orang terpaksa \u201cduduk rumah\u201d dan hanya dibenarkan keluar rumah untuk urusan penting, seperti membeli barang keperluan harian dan tujuan perubatan, menyebabkan orang ramai yang terlibat hidup dalam kesepian. Kehidupan yang sedemikian rupa akibat serangan pandemik COVID-19, telah pun dialami oleh penduduk Oran yang dilanda oleh wabak bubonik. Hidup dalam keterasingan itu jelas diperihalkan oleh Camus seperti petikan yang berikut:\nMemang, salah satu akibat yang paling menonjol daripada penutupan pintu kota adalah perpisahan secara tiba-tiba yang dialami orang tanpa persiapan untuk itu. Misalnya, ibu-ibu dan anak-anak, suami-suami, kekasih-kekasih yang beberapa hari sebelumnya mengira akan berpisah untuk sementara. Mereka berdakapan di platform stesen kota kami sambil hanya mengucapkan dua atau tiga nasihat, kerana yakin akan bertemu kembali beberapa hari atau beberapa pekan kemudian. Mereka terbawa oleh kepercayaan manusia yang bodoh, hampir tidak bisa memalingkan perhatian daripada kesusahan mereka yang rutin untuk sedikit memusatkan fikiran pada keberangkatan itu. Kini dengan penutupan pintu kota, mendadak mereka terpisah, tidak bisa saling berjumpa atau saling berhubungan, mereka tidak berdaya berbuat sesuatu pun.\n(Sampar/The Plague, diterjemah oleh NH Dini, 1985)\nBagi kebanyakan penduduk kota Oran, perpisahan itu hanya akan berakhir bersama-sama epidemik. Untuk meredakan penderitaan akibat perpisahan dan penderitaan kerana membayangkan mereka yang tidak dapat bersama-sama anak-anak, isteri atau kekasih, mereka menumpukan kegiatan dalam kehidupan yang lebih aktif di luar rumah mereka. Namun begitu, wabak menyebabkan hidup pasif, sekadar berpusing-pusing di dalam sebuah kota yang murung.\nTerkurung di kota yang terpisah dari dunia luar menyebabkan amalan hidup kejiranan seakan-akan tidak wujud lagi. Masing-masing hidup sendiri-sendiri dengan dirasuk oleh kebimbangan dan ketakutan. Seperti yang diberitahu oleh Camus, \u201clebih-lebih di puncak kesendirian itu, tidak seorang pun bisa mengharapkan bantuan tetangga, lalu masing-masing memikul kesusahan sendiri. Secara baik atau bermusuhan, jawapan selalu tidak memuaskan ini; jadi lebih baik menghentikan usaha berhubungan untuk meringankan beban di hati.\u201d\nApabila berlaku wabak, termasuk pandemik COVID-19, kaedah konvensional biasanya digunakan, iaitu kuarantin. Bagi orang yang pernah dikenakan kuarantin, seperti yang berlaku di Oran, terpahat kisah duka dan derita mereka, \u201cyang semuanya tampak curiga.\u201d Hal ini demikian kerana, mereka dipisahkan daripada penduduk lain yang pasti ada sebabnya. \u201cDan muka mereka adalah muka orang yang mencari sebab-sebab itu, muka orang yang kecemasan. Semua orang memiliki pandangan mata hampa. Mereka tampak menderita kerana sama sekali dipisahkan daripada apa yang membuat mereka hidup sebelumnya. Dan kerana mereka tidak bisa selalu berfikir kepada kematian, mereka tidak memikirkan sesuatu pun.\u201d\nMereka mengalami perasaan patah hati kerana kuarantin dan disebabkan seakan-akan diabaikan oleh sanak saudara mereka. Orang yang dikenakan kuarantin seakan-akan hilang akal kerana kesedihan dan kemalangan, malah berkelakuan aneh. Oleh itu, \u201csepulang daripada kuarantin lalu membakar rumah mereka dengan maksud memusnahkan kuman-kuman wabak. Sukar sekali untuk memberantas perbuatan itu yang membahayakan seluruh daerah kerana angin keras, maka kebakaran mudah merebak.\u201d\nMarshall Cohen yang menulis \u201c\u2018Broken Heart Syndrome\u2019 Has Increased During the COVID-19 Pandemic, Small Study Suggests\u201d merujuk kajian yang baru sahaja diterbitkan. Kajian yang melibatkan dua buah hospital di Ohio mendapati peningkatan signifikan dalam \u201csindrom patah hati\u201d dalam kalangan sesetengah pesakit. Kajian itu memerhatikan 1914 orang pesakit dari tempoh dua bulan yang berbeza, termasuk sampel lebih 250 orang pesakit yang dimasukkan ke hospital pada bulan Mac dan April, iaitu ketika puncak awal pandemik. Kajian itu merumuskan bahawa peningkatan berkemungkinan berkait dengan \u201cpsikologi, sosial, dan stres ekonomi\u201d yang disebabkan oleh pandemik, yang termasuk \u201ckuarantin yang dikenakan, kurang interaksi sosial, peraturan penjarakan fizikal yang ketat, dan kesan ekonomi terhadap kehidupan orang ramai\u201d.\nAlbert Camus mengingatkan, wabak tidak mudah lenyap dari muka bumi ini, dan pastinya, sentiasa bersiap sedia untuk menyarang manusia yang sering lalai:\nOnce more it was devising ways of foiling the strategies adopted against it, appearing where it was least expected and disappering just where it seemed already well settled. Once more, it was making effort to astound.\n(The Plague, 2002:219)\nPada suatu subuh cerah bulan Februari, akhirnya pintu-pintu kota Oran dibuka semula, disambut meriah oleh penduduk yang beberapa bulan sebelum itu masih ragu-ragu bahawa wabak telah pun berakhir. Namun begitu, di sebalik segala kemeriahan di kota itu, Rieux teringat bahawa kegembiraan itu masih tetap terancam, kerana dia sedar, meskipun khalayak yang bersuka ria itu tidak menyedari, kita akan belajar daripada buku-buku bahawa basil (kuman) wabak tidak pernah mati atau menghilang buat selama-lamanya. Bahawa basil dapat menetap berpuluh-puluh tahun tertidur di perabot rumah dan pakaian. Basil menunggu dengan sabar di dalam bilik tidur, di dalam bilik bawah tanah, di dalam peti-peti, di sapu tangan, atau segala alat tulis serta kertasnya. Dan barangkali, pada suatu hari, sebagai pelajaran bagi manusia, wabak akan membangunkan tikus-tikus kembali, kemudian menyuruh tikus mati di tempat-tempat terbuka di sebuah kota yang bahagia.\n\u00a0\nRUJUKAN\nCamus, Albert, 1985. Sampar. Diterjemah oleh NH Dini. Jakarta: Yayasan Pustaka Obor. (Teks asal dalam bahasa Perancis).\nCamus, Albert, 2002. The Plague. Diterjemah oleh Buss, Robin. London: Penguin. (Teks asal dalam bahasa Perancis).\n_________________________\nZulkifli Salleh ialah mantan Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selain pernah menjawat tugas sebagai Ketua Bahagian Ensiklopedia, Ketua Editor Buku Sastera dan Ketua Editor Majalah di DBP. Antara hasil karyanya termasuk Idea-idea Besar Ekonomi Politik Dunia (DBP, 2019) dan Krisis Tidak Berhujung (DBP, 2018)." "Kritikan Sastera Tanah Air Lesu atau Sudah Mati?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRaja Yusoff Ariffin mengambil perhatian beberapa isu yang timbul selepas Forum Sastera \u201cDunia Kritikan Sastera di Malaysia Lesu\u201d pada 17 September 2020 di Dewan Bahasa dan Pustaka serta Fokus Dewan Sastera 02/2021 yang ditulis oleh Mana Sikana. Adakah kritikan sastera benar-benar tidak mampu disegarkan kembali atau memerlukan suatu sisi perspektif baharu untuk melihatnya \u201csihat\u201d kembali?\nPada masa ini, ramai pengkritik prolifik yang telah berundur daripada menulis apa-apa lagi kritikan atas pelbagai sebab.\nBidang kritikan sastera Malaysia sekarang dianggap lesu. Terdapat juga yang mengatakannya telah mati, meskipun perkara ini masih boleh diperhalusi lagi. Kajian mendapati antara sebab bidang kritikan sastera Malaysia lesu ialah para pengkritik mengkritik karya kerana pilihan dan minat sendiri. Pelajar di universiti yang mempelajari sastera pula tidak dilatih menjadi pengkritik, tetapi hanya untuk mendapatkan ijazah dan mencari pekerjaan setimpal. Hal ini mungkin berlaku kerana bidang kritikan bukanlah satu bidang yang utama dalam pendidikan sastera di universiti. Secara pandangan naif, mungkin dengan adanya ijazah sarjana kritikan, akan lahirlah lebih ramai pengkritik sastera.\nPada masa ini, ramai pengkritik prolifik yang telah berundur daripada menulis apa-apa lagi kritikan atas pelbagai sebab. Yahaya Ismail misalnya, bagaikan merajuk kerana sering dibidas oleh penulis. Sebenarnya, para penulis wajar berterima kasih kepada Yahaya yang rajin mengkritik karya sastera pada era 1980-an. Kesilapan beberapa orang penulis ini secara tidak disedari telah merosakkan momentum kritikan sastera dan tanah air sejak 40 tahun lamanya.\nRamai pula yang menganggap bahawa kritikan sastera itu mesti tulisan yang ilmiah dan mesti dilahirkan oleh kalangan sarjana dari universiti. Hal ini juga merupakan satu kesilapan kerana tumpuan yang lebih penting ialah persoalan teks (yang diteliti) dan hujah-hujahnya. Dalam hal ini, sesiapa sahaja mampu menekuninya, hanya daya dia mahu menulis dan boleh menulis sahaja yang menjadi persoalannya. Tepuk dada tanya selera.\nSebenarnya pada era ini, kritikan (jika dikira begitu) masih hidup, tetapi kritikan \u201ctidak rasmi\u201d, iaitu catatan-catatan ulasan tentang sesebuah karya hanya berlegar-legar dalam ruang media sosial dan sesama kumpulan penulis. Malah, lebih menggusarkan lagi apabila pengkritik semasa tidak membicarakan karya penulis sekarang, sedangkan jika diperhatikan, sudah banyak yang lebih baik daripada karya-karya penulis era 1980-an.\nTambahan lagi, hubungan kebanyakan penulis-pengkritik pada hari ini sangat dingin. Pada era 1970-an dan 1980-an, penulis-pengkritik bersahabat dan boleh berbincang. Malangnya, hal ini kini nampaknya kurang diteruskan, malah tidak ada program atau inisiatif yang mampu mencetuskan pertemuan ini dengan sihat.\nKelesuan yang dirasakan mungkin kerana banyak kritikan yang terikat dengan teori dan perspektif teori. Pengarang pula, tidak memanfaatkan teori kajian sastera, barangkali kerana kreativiti mereka tidak memerlukan teori. Mungkin ada tetapi jarang yang mahu menggunakan teori kerana lebih mementingkan idea.\nPerlu difahami bahawa \u201clesu\u201d bererti \u201cmasih bernyawa\u201d dan masih boleh dirancakkan kembali. Namun demikian, benarkah dunia kritikan sastera Malaysia sebenarnya hanya sudah lesu atau sememangnya, sudah mati? Jika lesu, bagaimanakah kita menyegarkannya semula, atau jika sudah mati, apakah kaedah untuk benar-benar menghidupkannya kembali?\nMenurut penyair, deklamator dan pengkritik sastera terkenal tanah air, Dato\u2019 Rahman Shaari, \u201clesu\u201d dan \u201cmati\u201d itu adjektif pada keadaan, dan boleh disebutkan salah satunya. Jika lesu, boleh disegarkan kembali, tetapi kalau sudah mati, selesai.\nKatanya, akan muncul kritikan teoritis yang hebat untuk membersihkan suasana sastera \u201cikut suka\u201d yang kini menyubur di Facebook. Kritikan teoritis, katanya, akan menyatakan yang baik dan yang lemah secara umum.\nRahman memberi contoh, pengkritik akan menganggap bahawa sajak-sajak yang berima sehingga 15 baris memualkan, misalnya, \u201ckini/ramai penakut dari pemberani/baik dalam tugas atau seni/baik saudagar atau tani/mereka bimbang rugi seguni/tiada untung teguran begini/dimarahi sana-sini/mereka mahukan pujian warna-warni/konon tokoh terbaik zaman ini\u201d. Petikan ini merupakan contoh yang benar-benar menimbulkan rasa meluat. Kemudian, seorang pengkritik akan menggunakan teori untuk mengkritiknya secara habis-habisan. Di sinilah kritikan teoritis itu dapat dilaksanakan dengan bijak.\nJumlah lulusan universiti yang terlatih kini, jelas Rahman, lebih daripada mencukupi untuk melahirkan pengkritik. Tetapi, beliau bersama-sama Mana Sikana ialah pengkritik terakhir yang memilih cara kupasan, penekanan unsur seni dan tema karya. Hal yang sudah kurang dipakai oleh pengkritik kontemporari.\nBagi Rahman, kritikan perlu menyatakan kelemahan di samping kelebihan. Namun demikian, pada zaman media sosial sekarang, \u201ckaki kacau\u201d akan menjawab apabila kelemahannya ditunjukkan. Mereka menjawab dalam Facebook yang merupakan hasil fikiran tiga minit, padahal dalam polemik sastera dekad 1960-an dan 1970-an, hal-hal sebegini difikirkan selama seminggu, dengan suntingan editor majalah atau akhbar, berbanding Facebook yang tiada penyunting.\nBagi Rahman Shaari lagi, sajak-sajak kini tersiar bebas dan mudah menerima ucapan tahniah walaupun begitu banyak yang perlu dikritik agar mantap. Oleh sebab itu, dalam keadaan sekarang, para pengkritik saling berbincang dan bertanya, mahukah mereka mengkritik sajak \u201cgergasi\u201d itu.\nKata Rahman, kritikan dekad 1960-an dan 1970-an penuh sindiran dan hentaman, terutamanya oleh Mohd Affandi Hassan, Baha Zain, Mana Sikana, Yahaya Ismail, dan beliau sendiri. Baha misalnya menyebutkan, \u201cplot cerpen tertentu karya pengarang A, adalah tangkai bunga kertas yang bermaksud dibengkok-bengkokkan sesuka hati tanpa sandaran ilmu.\u201d Kini, ayat sedemikian menjadi tabu. Pengarang dan penyokong akan membalasnya di Facebook. Maka, perkara yang sebenarnya perlu ditekankan dalam kritikan sastera ialah ilmu sastera dan ilmu bantu, dan bukannya ilmu kritik.\nMenurut Prof. Dr. Hashim Ismail pula, dunia kritikan sastera Malaysia sebenarnya belum mati lagi. Katanya, hal itu hanya anggapan yang disebabkan oleh wadah umum, seperti akhbar dan majalah yang menyiarkan ruang kritikan yang semakin terhad, selain mengalami perubahan zaman. Menurut Pengarah Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu, Universiti Malaya itu, pengkritik yang tinggal hari ini hanyalah sarjana. Pengkitik yang bukan sarjana amat berkurangan. Anggapan tersebut timbul baginya kerana sarjana mempunyai wadahnya yang tersendiri, dan mereka menulis kritikan dalam jurnal akademik atau di seminar sahaja.\nBaginya, kelesuan yang dirasakan mungkin kerana banyak kritikan yang terikat dengan teori dan perspektif teori. Pengarang pula, tidak memanfaatkan teori kajian sastera, barangkali kerana kreativiti mereka tidak memerlukan teori. Mungkin ada tetapi jarang yang mahu menggunakan teori kerana lebih mementingkan idea. Hal ini juga berlaku kerana banyak kritikan yang lebih mencari kebaikan dan mengelakkan kontroversi.\nKelesuan juga dirasai kerana segelintir sahaja yang mengkritik kelemahan karya, malah kebanyakannya seperti mencari kekuatan karya terlebih dahulu. Jika mengkritik kelemahan, ia hanya sedikit sahaja, dan berlapik.\nAkhirnya, kritikan tidak lagi kritis, ataupun banyak terikat dengan format teori. Pengkritik tidak banyak berterus terang demi menjaga emosi pengarang kerana tulisan kritikan ilmiah telah menjadi format yang standard (dan entah siapa yang menjadikannya suatu standard yang harus diikuti): jangan emosi, dan tidak boleh berat sebelah, tetapi mesti berbahasa ilmiah. Justeru, kritikan menjadi mendatar, dan \u201cmengikut buku\u201d semata-mata.\n_________________________\nRaja Yusoff Ariffin atau Raja Yusoff Raja Ariffin dilahirkan pada 21 Ogos 1962 di Pulau Tiga Kanan, Parit, Perak. Beliau menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Raja Yusoff merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur, rakan Tajulmedia Melayu dan pernah menganggotai PAKSI. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun \u201cBeraya di Kampung Warisan Melayu\u201d Satu Property (2020)." "Abdulah Hussain Cuma Mahu Menulis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Dewan Sastera (DS) menyiarkan kembali wawancara bersama-sama Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Haji Abdullah Hussain. Beliau yang sangat dikenali sebagai seorang penyusun naratif yang pintar menyampaikan kata-kata pesanannya tentang kepentingan menghayati jati diri dan pegangan agama yang masih relevan sekarang. Semoga Tuhan mengampuninya dan menempatkannya bersama-sama hamba-Nya yang dikasihi. Al-Fatihah. Wawancara ini pernah tersiar dalam Dewan Sastera Mei 2012.\nPada pandangan saya berkenaan agama Islam, bukan sahaja di Tanah Melayu tetapi di dunia sudah mulai merosot kerana gerakan pihak tertentu. Kita mesti membela, melawan, kerana agama Islam adalah agama Allah SWT.\nSasterawan Negara Datuk Haji Abdullah Hussain, sasterawan, novelis, cerpenis, penterjemah, penulis autobiografi dan biografi. Sesungguhnya beliau pengarang yang bangun, bernafas dan tidur untuk susastera. Februari lalu, penulis berpeluang menemui beliau di rumahnya, di Petaling Jaya. Wajah gembira yang beliau ukirkan, melihat kedatangan beberapa pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke rumahnya, menyambut mesra dan penuh keceriaan. Beliau tidak berapa sihat tetapi masih tetap menggagahkan diri menyambut tetamu. Beliau kini menulis menggunakan pen, di atas buku latihan dan kertas kajang. Separuh daripada hati penulis berasa bersalah apabila menghulurkan soalan buatnya. Tetapi beliau terus sahaja menerima. Beliau cuma mahu terus menulis.\nDS: Datuk masih membaca?\nAbdullah: Saya masih tetap membaca terutama al-Quran, surah Yasin sebelum solat fardu. Saya membaca buku yang saya terima daripada DBP. Saya baru selesai membaca setiap cerpen dalam antologi Cinta Sekerdip Embun (Antologi Cerpen Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia), susunan Anwar Ridhwan. Saya cuma boleh baca satu cerpen sahaja pada satu-satu masa, setengah jam atau satu jam, saya duduk di kerusi roda di luar rumah. Saya sakit sekarang.\nSekarang, saya mulai membaca Cinta Masitah (Antologi Cerpen Berunsur Islam) yang saya baru terima daripada DBP.\nDS: Dan Malam, Apabila Ia Berlalu merupakan novel mutakhir Datuk. Selepas novel besar ini, apakah Datuk masih bersemangat menulis?\nAbdullah: Novel Dan Malam, Apabila Ia Berlalu ialah novel saya sebelum saya sakit. Saya memang suka menulis.\nDS: Apakah perasaan Datuk terhadap perkembangan anak Datuk, Ahmad Patria?\nAbdullah: Saya bangga dengan anak sulung saya, Ahmad Patria kerana dia mengikut jejak langkah saya, walaupun dia lebih gemar fiksyen sains, kerana dia anak muda dan belajar sains.\nDS: Kebanyakan karya Datuk yang berlandaskan keislaman banyak menampilkan masalah sosial Melayu Islam semasa.\nAbdullah: Saya mula menulis tentang Islam lebih awal lagi, tetapi kalau saudara perhatikan dengan teliti, semua novel saya sebenarnya mengangkat Islam, walaupun Kuala Lumpur Kita Punya. Ada pensyarah yang mengatakan novel itu lucah, tetapi dia tidak faham tentang penghabisan novel itu.\nPada pandangan saya berkenaan agama Islam, bukan sahaja di Tanah Melayu tetapi di dunia sudah mulai merosot kerana gerakan pihak tertentu. Kita mesti membela, melawan, kerana agama Islam adalah agama Allah SWT. Ada pihak luar negara yang benci dan anti dengan Nabi Muhammad SAW, kerana mereka terpengaruh dengan gerakan tertentu. Saya cuba menulis Masuk ke Dalam Cahaya, Imam dan novel terakhir, Dan Malam, Apabila Ia Berlalu kerana saya mahu anak Melayu di Malaysia dan di seluruh dunia faham dan berpegang kuat kepada ajaran agama Islam. Islam agama yang betul. Namun, ada pihak tertentu tidak percaya dengan Islam kerana mereka terpengaruh oleh perasaan dengki. Ada beberapa orang pemimpin terdahulu yang anti-Islam. Kita perlu melawannya.\nSaya menulis dalam bahasa Melayu kerana saya mahu mempertahankan orang Melayu. Kalau ada penterjemahan karya saya, seperti Into the Light, itu amat baik sebagai tatapan dan pendedahan kepada orang di luar Malaysia.\nDS: Dunia komuniti penduduk kampung dalam Masuk ke Dalam Cahaya seakan-akan penciptaan suatu kampung utopia Islam yang harmoni, menghampiri sejarah sistem komuniti Amish Mennonite ataupun Mormon di Amerika Utara yang menahan komuniti mereka bercampur dengan kemodenan dan hedonisme kota. Bagaimana Datuk mendapat ilham?\nAbdullah: Apabila saya menulis Masuk ke Dalam Cahaya, saya tidak meniru sesiapa. Pada masa (penulisan) itu, saya banyak membaca al-Quran dan dari situ saya dapat idea. Saya mahu membayangkan sebuah komuniti Islam yang tulen dalam novel tersebut.\nApabila saya menulis, biasanya ada benda yang mahu saya ceritakan. Bacalah Proses Kreatif: Satu Pengalaman Rohani yang saya tulis. Di situ ada saya tulis bagaimana saya mendapat idea.\nDS: Dan Malam, Apabila Ia Berlalu dikatakan oleh sesetengah pihak sebagai propaganda Islam Hadhari, dan kini Islam Wasatiah (kesederhanaan), komen Datuk?\nAbdullah: Saya tidak peduli apa-apa orang kata tentang novel saya Dan Malam, Apabila Ia Berlalu. Saya mahu orang Islam yang begitu (dalam novel tersebut). Mereka mesti kuat dan ada komuniti sendiri. Terutamanya di Amerika Utara dan di Eropah. Mereka mendepani kemodenan yang pesat dan pelbagai pengaruh asing di sana. Orang Islam tidak ditakrif melalui istilah \u201csederhana\u201d. Islam itu bererti Islam lahir dan batin.\nDS: Apakah pandangan Datuk tentang adaptasi novel ke filem? Saya rasakan karya Datuk paling mudah untuk diadaptasi ke filem.\nAbdullah: Saya harap pembikinan filem buatlah filem daripada novel. Bukan novel saya sahaja. Semua novel boleh cuba diadaptasi. Sayangnya, mereka (pembikin filem) memeras otak untuk buat skrip baharu. Mereka tidak mahu pilih novel yang banyak sudah diterbitkan. Mereka takut novelis menjadi terkenal, lebih terkenal daripada mereka. Novel dan cerpen saya, memang boleh dibuat filem. Bukanlah pula saya menulis untuk (karya saya) dibuat filem tetapi memang boleh dijadikan filem. Tidak salah. Nasihat saya, para pembikin filem, buatlah filem daripada novel atau cerpen orang lain dahulu. Tetapi biasalah, sifat manusia terlalu sombong, maka jadi begitu.\nDS: Ada diceritakan bahawa Datuk pernah terlibat dengan gerakan kemerdekaan dan penentangan penjajah Belanda di Aceh. Kemudian, setelah membunuh beberapa penjajah dan menjadi buruan, Datuk lari ke Tanah Melayu. Bagaimana komen Datuk tentang isu ini?\nAbdullah: Saya tidak pernah bunuh orang. Saya memang ikut serta dalam revolusi politik Indonesia dan pernah ikut pegang senapang. Saya pernah ikut rakan-rakan bunuh orang tetapi itu hukuman, sesudah mahkamah tentera menghukum (askar itu). Saya keluar dari Indonesia kerana Imigresen Indonesia percaya dengan aduan seorang hamba Allah yang saya sudah tolong di Pulau Pinang. Tetapi saya tidak marah, itu hak dia.\nDS: Sebagai sasterawan pada lewat usia, adakah penyesalan terbesar Datuk?\nAbdullah: Saya tidak menyesal, saya cuma mahu menulis sahaja.\nDS: Apakah harapan Datuk untuk sastera dan masyarakat kita?\nAbdullah: Saya harap orang Melayu di mana sahaja mereka berada, sekarang dan akan datang, maju dan sedar akan dirinya sebagai seorang Melayu yang beragama Islam.\n_________________________\nBeli novel Masuk ke Dalam Cahaya." "Penulis Ulung dan Baharu Singapura Terima Anugerah dan Hadiah Persuratan 2020/2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nSingapura \u2013 Lima orang penulis ulung Melayu Singapura diiktiraf dalam Majlis Anugerah Persuratan (AP) ke-14 anjuran Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) pada 10 April 2021 yang lalu. Hamed Ismail dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tun Seri Lanang untuk edisi AP 2020/2021.\nBeliau juga merupakan sasterawan persuratan yang paling mapan untuk menerima anugerah tersebut. Berusia 73 tahun, beliau telah berkecimpung dalam bidang penulisan selama lebih 30 tahun, dan karya beliau termasuk drama pentas, puisi dan cerpen. Hamed merupakan mantan penyelia kanan skrip sewaktu berkhidmat di TV Eaglevision, Mediacorp, Singapura.\n\nSementara itu, Allahyarham Zaidy Nandir yang dikenali ramai sebagai seorang aktivis seni, penggubah lagu dan penulis lirik yang prolifik, dipilih menjadi penerima Anumerta Tun Seri Lanang tahun ini. Beliau ialah penerima termuda anugerah itu sejauh ini. Allahyarham juga telah menerima banyak anugerah untuk lagu dan lirik terbaik dalam pertandingan-pertandingan Dikir Barat tempatan. Allahyarham meninggal pada tahun 2018 sewaktu berusia 45 tahun.\n\nKemenangan besar bagi seorang lagi tokoh persuratan mapan, Jamal Ismail, yang memenangi Hadiah Persuratan untuk dua kategori, Cerpen dan Novel, iaitu kumpulan cerpen GOD(A) dan novel Tunjuk Langit. Pada tahun 2016, 32 tahun selepas buku terbitan beliau yang terakhir, Jamal kembali dengan karya Yang Kekucingan, sebuah kumpulan cerpen yang menghimpunkan 20 buah cerpen berbentuk surreal dan di luar kotak rasional akal. Beliau kemudian menghasilkan GOD(A) pada tahun 2018 dan Tunjuk Langit pada tahun 2019. Hal ini merupakan pencapaian yang sangat membanggakan bagi seorang penulis yang kembali muncul pada tahun 2016, setelah berehat daripada dunia penerbitan sejak tahun 1984.\n\nDua pemenang Hadiah Persuratan lain yang juga diiktiraf untuk edisi AP 2020/2021 ialah Farihan Bahron bagi kumpulan puisi Tukang Tunjuk Telunjuk untuk kategori Sajak, dan Rilla Melati Bahri bagi judul siri buku cerita Si Pencuri Ketawa \u2013 Kisah di Dalam Taman di Persisiran untuk kategori Sastera Kanak-kanak, sebuah kategori baharu yang diperkenalkan dalam Hadiah Persuratan. Bagi kategori buku Drama (untuk Pentas) dan Kajian pula, tidak ada pemenang bagi tahun 2020/2021.\nPengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, mengatakan, \u201cPengiktirafan penting untuk terus membakar semangat penulis-penulis watan. Kecemerlangan yang dipaparkan oleh penerima Anugerah Persuratan boleh dijadikan sebagai penanda aras bagi penulis-penulis lain, khususnya bagi penulis-penulis muda yang ingin berkecimpung dalam bidang persuratan. Kepakaran penerima anugerah ini juga boleh dimanfaatkan untuk terus menyemarakkan bidang persuratan setempat.\u201d\nSuratman Markasan, sasterawan terkenal Singapura dan penerima Anugerah Tun Seri Lanang (1999) pula menambah, \u201cPenerima Anugerah Persuratan elok merasakan\u00a0bahawa dirinya istimewa kerana dinobatkan sebagai penulis yang ulung. Di samping itu, dia harus terus mencari nilai-nilai baharu untuk tetap istimewa. Mereka yang tidak dinobatkan harus menilai kelemahan mereka dan menggantikannya dengan yang luar biasa. Usaha akan menuju kejayaan.\u201d\nBermula sejak 1993, acara dwitahunan ini merupakan usaha berterusan MBMS untuk mengiktiraf para penulis tempatan dalam bidang persuratan Melayu. Anugerah ini juga bertujuan untuk menggalakkan penerbitan karya bermutu, serta memasyarakatkan bidang persuratan. Anugerah Persuratan 2020/2021 dianjurkan oleh MBMS dan diuruskan Majlis Buku Singapura (SBC), dengan sokongan daripada Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Lembaga Warisan Kebangsaan (NHB), dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) Singapura." "Kritikan Perlu Berilmu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKritikan puisi seharusnya bersandarkan ilmu dan bukan dibuat atas tujuan memperolok-olok atau merasa diri (pengkritik) jauh lebih baik daripada orang lain. Hal ini akan lebih membantu dalam usaha meningkatkan mutu dan memanjangkan hayat karya berkenaan.\nSecara ringkas, hal itu yang boleh disimpulkan dalam perbincangan antara penerima Anugerah Sastera Asia Tenggara (SEA Write) 2011, Syed Mohd Zakir Syed Othman (S.M. Zakir) bersama-sama penulis, Ainunl Muaiyanah Sulaiman yang dimudahcarakan oleh Fahd Razy menerusi program Moreh Puisi secara langsung di laman Facebook Tukang Puisi.\nS.M. Zakir berkata, kritikan juga memerlukan pengkritik yang jujur dan tahu latar belakang subjeknya.\n\u201cKritikan tidak harus dibuat secara emosi atau merasakan kita lebih baik daripada orang lain hingga kelihatan ia memperolok-olok manakala, \u2018name dropping\u2018 yang dibuat tidak nampak tulus,\u201d katanya.\nTegas S.M. Zakir, kritikan membantu memperkenalkan dan memanjangkan hayat karya sepertimana karya T Alias Taib yang dibaca oleh generasi muda kini. Fenomena ini bermula dengan kritikan oleh penyair muda seperti Wan Nor Azriq.\n\u201cSetiap generasi perlu ada pengkritik kerana mereka yang mengenal pengarang sezaman. Hal ini kerana, pengkritik itu hanya melihat satu karya sahaja dan kritikan itu tidak lengkap. Pengkritik perlu ada ilmu dan berguru tidak semestinya secara formal tetapi mesti ada ilmu,\u201d katanya.\nS.M. Zakir turut menyifatkan ketika ini, ranah sastera kebangsaan tidak ada pemuisi pelapis selepas Zaen Kasturi. Jika ada, mereka ialah pemuisi seperti Muhammad Lutfi Ishak dan Fahd Razy, tetapi selebihnya khalayak masih tercari-cari.\n\u201cKita ada ramai penulis generasi muda, mereka ini berbakat tetapi berkarya dalam lab (makmal).Contohnya, macam Karim Mohd. Dia muncul dengan satu karya, sesudah itu dia diam. Dia bereksperimen, berjaya, tetapi kemudian tidak muncul lagi,\u201d katanya.\nTambah S.M. Zakir, landskap puisi kebangsaan juga seharusnya memunculkan karya dengan pengucapan baharu dan bukan mengulang gaya penyair sebelum ini.\n\u201cAda beberapa puisi yang baik dan \u2018menakutkan\u2019 saya tetapi apabila kita imbas, pengucapan yang sebegitu sudah pun dibuat oleh penyair sebelum ini.\u201d\nSementara itu bagi Ainunl Muaiyanah, kritikan generasi muda terlihat sebagai kritikan peribadi kerana medium yang dipilihnya.\nKatanya, kritikan biasanya dibuat di laman sosial yang bersifat personal, menjadikan kritikan itu berubah menjadi kritikan yang bersifat peribadi walaupun niatnya mahu membuat kritikan karya. Hal ini berbeza dengan kritikan yang dibuat di akhbar atau majalah yang kelihatan lebih serius.\nWalau bagaimanapun, Ainunl Muaiyanah berkata, dalam tempoh lima tahun akan datang, penjaga pintu puisi itu ialah pemuisi sendiri bukan seperti ketika ini yang kebanyakan daripada mereka lebih cenderung pada prosa, sama ada cerpenis atau novelis.\n\u201cSatu hal yang boleh kita lihat pada masa sekarang ialah ada pendirian ketidakbergantungan penulis pada institusi besar, dan hal ini melahirkan banyak penyair kerana mereka menulis secara lebih bebas, berani dan tiada tapisan. Namun ada kontranya, mungkin pada akhirya kita berbalik pada isu kualitinya pula,\u201d katanya.\nSementara itu, Ainunl Muaiyanah berkata, sepanjang 10 kebelakangan ini, beliau banyak \u201cmendampingi\u201d pemuisi wanita generasi muda yang tampil dengan karya yang hebat dan baik. Walau bagaimanapun, seperti yang disebut oleh S.M. Zakir, kebanyakan mereka mengambil masa yang lama untuk tampil dengan karya baharu sesudah karya awal mereka menggegarkan khalayak.\n\u201cMereka juga tampil menulis sekadar untuk menulis dan tidak berminat untuk mencipta nama,\u201d katanya.\nAinunl Muaiyanah berkata, ada kala sesebuah puisi yang ditulis secara eceran menangkap minat khalayak kerana pengucapan yang segar tetapi apabila ia dibukukan dalam sebuah kumpulan puisi, ia mudah tenggelam." "Dikotomi Sastera-Sains dan Generasi Ketam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKolumnis Rem Dambul memerhati permasalahan sistem pendidikan kita yang masih terjerat dalam dikotomi aliran pembelajaran tanpa memahami kedua-duanya saling memerlukan untuk kemajuan akal dan sahsiah generasi masa depan.\nSistem pendidikan ialah senjata pembudayaan nilai, mentaliti dan norma yang paling efektif. Justeru wujudnya dikotomi yang sedemikian, maka kita melahirkan ketumbukan generasi yang pincang perspektif.\nSastera ialah sendi kehidupan, dan sains ialah penggeraknya. Kedua-dua disiplin ini bukan sekadar saling memerlukan, bahkan sebenarnya harus berintegrasi menjalankan satu fungsi sepunya. Sastera memugar kemanusiaan, dan sains memacu pembangunan. Dunia yang kaya kemajuan tetapi papa nilai insani, akan berakhir dengan sebuah tamadun yang bejat.\nSastera berkembang menerusi medium fiksyen dan kreatif; manakala sains menerusi medium empirikal dan akademik. Tetapi dua disiplin ini berkongsi satu lagi kebersamaan yang erat, iaitu kedua-duanya didukung oleh tradisi persuratan. Justeru, pemisahan dua disiplin ini tidak pernah munasabah.\nSejak era klasik Yunani dan Romawi; merentas ke zaman peradaban India, China dan Islam; hingga ke fasa-fasa awal kurun pencerahan Eropah \u2014 sastera dan sains berkacuk intim sebagai gagasan ilmu tanpa sempadan. Selama ribuan tahun, dua disiplin ini terangkai dengan harmoni, sebelum keseimbangan tersebut dijungkir balik.\nBarangkali kesilapan terbesar dunia kontemporari, khususnya di Malaysia, ialah menginstitusikan dikotomi disiplin dalam pendidikan. Hal ini berlaku apabila kurikulum formal (pengajian menengah dan tertiari) memisahkan bidang sastera dan sains secara eksklusif mengikut dua aliran berbeza.\nSistem pendidikan ialah senjata pembudayaan nilai, mentaliti dan norma yang paling efektif. Justeru wujudnya dikotomi yang sedemikian, maka kita melahirkan ketumbukan generasi yang pincang perspektif. Sesiapa yang cakna sains, selalunya jahil sastera, dan sebaliknya. Bukan semua, tetapi majoritinya begitu.\nMemang benar, seorang individu tidak boleh menguasai semua perkara. Kita perlu berfokus pada satu bidang khusus untuk menatar kemahiran yang benar-benar tuntas dan padu. Tetapi alasan ini tidak boleh dijadikan justifikasi untuk mewujudkan dikotomi disiplin secara terinstitusi.\nKeperluan untuk mengkhusus tidak boleh meminggirkan kepentingan untuk mengembangkan citra minda yang seimbang. Pengajian liberal yang menggalakkan inter-disiplin sains alam dan sains kemanusian semakin popular dalam pendidikan global. Perkara ini merupakan suatu kesedaran untuk kembali semula ke pangkal ilmu tradisi silam yang bersifat inklusif. Namun begitu, gerakan pendidikan baharu ini masih merangkak bertatih di Malaysia.\nKita semua tahu anatomi otak manusia terbahagi kepada dua, iaitu kiri dan kanan. Setiap satu perlukan santapan mental yang berbeza. Otak kiri disinonimkan dengan pemikiran literal, yang cenderung pada sesuatu yang logik dan objektif. Manakala otak kanan dikaitkan dengan pemikiran lateral, yang gemar pada sesuatu yang kreatif dan subjektif. Dalam kata mudah, sains tumbuh di otak kiri; manakala sastera mekar di otak kanan.\nBayangkan kita ada dua pokok manggis di laman rumah. Pokok di kiri anjung, kita siram tiap-tiap hari dan baja secara berkala. Tetapi yang di kanan anjung, kita abaikan tanpa perhatian. Sudah tentu tuaian manggis kita tidak lumayan, kerana hanya satu pokok sahaja yang tumbesarannya sihat.\nBegitu juga, jika kita datang bersenam di jim. Setiap kali membuat aktiviti fizikal, kita cuma menggunakan satu tangan yang sama. Anggota yang satu lagi, tidak pernah diberi latihan. Bayangkan bagaimana rupa akhir tubuh badan. Mungkin bahunya kekar sebelah, dan senget terhuyung-huyung ketika berjalan kerana kurang imbangan.\nApabila kedua-dua hemisfera otak manusia tidak dikembangkan secara setara, wujud ketidakseimbangan. Hal ini boleh mempengaruhi sudut pandang dan daya hikmah seseorang; mungkin sehingga mencetuskan prejudis yang bukan-bukan atau menghasilkan tenaga taakul yang lemah.\nSains ialah asas pada inovasi dan teknologi; dua komoditi yang paling efektif memacu pertumbuhan ekonomi masa kini. Sastera pula ialah salah satu tunjang kreativiti dan imaginasi; dua kemahiran terpenting dalam milenia baharu. Untuk menterjemah idea kepada ciptaan yang berguna, kita perlukan daya cipta yang tinggi.\nMaksudnya, para saintis yang mahu mereka cipta inovasi dan teknologi, sebenarnya amat memerlukan kemahiran kreativiti dan imaginasi. Tetapi inilah jurang terbesar yang dinatijahkan oleh pendidikan berciri dikotomi. Apakah akibatnya? Meskipun Malaysia telah melancarkan dasar-dasar yang mengutamakan pendidikan sains sejak lebih empat dekad dahulu (misalnya, penubuhan sekolah dan universiti sains, serta polisi 60 peratus pelajar aliran sains), namun sehingga kini kita tidak mampu melahirkan generasi pencipta yang signifikan.\nHampir 80 peratus saintis dan teknologis Malaysia berada di universiti. Secara perbandingan di Korea Selatan, lebih 80 peratus golongan ini berada di sektor industri. Hal ini bermaksud, kita melahirkan pakar teknikal yang cuma berkelayakan mengajar dan menyelidik. Sedangkan Korea Selatan menghasilkan saintis dan teknologis yang benar-benar berdaya cipta.\nMengapa? Kerana sistem pendidikan dikotomi yang memisahkan kemahiran teknikal dan kreativiti dalam dua domain kurikulum yang terasing. Hal ini seterusnya menghasilkan dua generasi separuh masak yang kekok mendepani dinamik Revolusi Perindustrian 4.0. Pertama, mereka yang cuma tahu ilmu empirikal sains, tetapi kurang daya imaginasi untuk mengolah inovasi. Kedua, mereka yang kreatif sakan, tetapi tiada asas teknikal untuk mencipta teknologi.\nApakah kesudahan cabaran keenam Wawasan 2020: \u201cMenghasilkan masyarakat saintifik dan progresif\u201d? Hanyut ke laut lepas, kerana petunjuk \u201csaintifik dan progresif\u201d ialah kemampuan menghasilkan teknologi dan inovasi tempatan. Sesuatu yang masih terlalu jauh untuk digapai, kerana ekonomi Malaysia kekal bergantung pada komoditi dan bukan pada ciptaan dan perkhidmatan, sebagaimana Korea Selatan.\nSelagi jurang sastera-sains ini tidak dirobohkan, barangkali selagi itu Malaysia akan terus terpasung sebagai pengguna dan pengimport tegar teknologi (yang diinovasikan oleh orang lain). Kita tidak akan mampu dinaik taraf menjadi pereka cipta dan pengeksport.\nBolehkah komuniti sastera merobohkan naratif yang merajadewatakan agenda dikotomi sastera-sains ini? Boleh, sekiranya kita mahu menganjak dogma nilai untuk melihat kelebihan sains sebagai salah satu pemboleh daya (enabler) untuk memperkasa kesusasteraan. Bukan menanggapi sains sebagai ancaman kepada keterhakisan nilai manusiawi.\nJika kita mencipta dinding prejudis (sama ada tersurat atau tersirat) kepada teknologi dan inovasi \u2014 maka, kita sebenarnya membantu untuk terus menginstitusikan pemisahan disiplin antara sains dengan sastera. Lalu kita melahirkan lebih banyak generasi ketam, yang berjalan miring, kerana tiada harmoni antara otak kiri dengan kanan.\n_________________________\nRem Dambul atau nama sebenarnya Ramzah Dambul (Dr.) ialah seorang sarjana bidang sains atmosfera; yang gemar berpuisi, melukis dan berfantasi. Dalam dunia utopia, dia seekor murai sastera yang selalu berkicau di perbatasan sains. Antara karya bukunya termasuklah kumpulan puisi Alien Menchari Chinta (ITBM, 2012; Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012/2013),\u00a0Deja Vu Cinta Pencari Katarsis (ITBM, 2014), Dari Cinta kepada Cinta (ITBM, 2015), dan memoir perjalanan Bukan Travelog Haji di Bumi Anbia (Studio Anai Anai, 2017)." "Berpuisi Selamatkan Palestin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) akan menerbitkan antologi puisi Palestin Memanggil. Buku antologi ini akan memuatkan sajak-sajak terpilih bertemakan konflik Palestin menentang kekejaman Israel. Hasil jualan buku akan disumbangkan kepada tabung Aman Palestin.\nPENYAIR mengajak semua, terutamanya penulis-penulis kreatif untukmenyumbangkan sajak bertemakan Palestin dengan menyediakan platform kiriman sajak, iaitu \u201cAyuh, PALESTIN MEMANGGIL!!!\u201d. Sumbangan sajak-sajak ini sebagai tanda solidariti (kebersamaan) menentang kekejaman Israel di tanah Gaza. Sajak-sajak yang dihantar perlulah sajak asli dan belum pernah diterbitkan oleh mana-mana syarikat penerbitan. Penyertaan percuma dan terbuka kepada rakyat Malaysia sahaja. Sajak-sajak terpilih akan dibukukan dan diterbitkan.\nAyuh, marilah kita sama-sama menyokong usaha ini sebagai tanda solidariti menentang kekejaman Israel. Syarat penyertaan adalah seperti berikut:\nTarikh akhir penghantaran pada 31 Mei 2021. Sila e-melkan sajak ke [email\u00a0protected]. Tuliskan nama penuh, nama pena (jika ada), alamat dan nombor hubungan bersama sajak yang dihantar. Sebarang pertanyaan boleh hubungi Wacana Minda di talian 011-72370237." "Bahasa dan Sastera Melayu Diiktiraf Kerajaan India\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\n\u00a0\nKuala Lumpur \u2013 Dua orang tokoh ternama dalam bidang bahasa dan sastera Melayu ditemu bual oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi segmen Selamat Pagi Malaysia bagi membicarakan isu berkaitan dengan \u201cBahasa dan Sastera Melayu Merentas Benua\u201d pada pagi semalam.\nDalam segmen tersebut, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), merangkap Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pensyarah bebas, penyair dan penterjemah bertauliah, Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman ditemu bual sebagai menghargai jasa dan sumbangan Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan di pentas antarabangsa.\nProf. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan penerima Anugerah Pencapaian Persuratan Sepanjang Hayat oleh Motivational Strips, Gujerat Sahitya Academy daripada kerajaan India bersempena dengan sambutan kemerdekaan India yang ke-75. Beliau yang tidak dapat hadir dalam majlis tersebut diwakili oleh Dr. Raja Rajeswari yang turut menerima anugerah dalam bidang terjemahan dari negara berkenaan https://dewansastera.jendeladbp.my/2022/10/03/6074/.\nSebelum bermulanya sesi temu bual, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan turut mendeklamasikan sebuah puisinya yang bertajuk \u201cMitos Bahasa\u201d. Beliau melahirkan rasa kesyukuran atas penganugerahan tersebut dan turut berkongsi anugerah itu bersama-sama sasterawan, penulis, dan budayawan di negara ini.\nAlhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana anugerah ini sebagai bukti bahawa bahasa Melayu, sastera Melayu, dan tamadun Melayu dihargai di seluruh dunia.\nBersama-sama beliau ialah Dr. Raja Rajeswari yang turut meraikan penganugerahan tersebut. Katanya, anugerah ini merupakan pengiktirafan dunia buat sasterawan dan individu yang memperkasakan dan memperjuangkan bahasa kebangsaan. Majlis penganugerahan tersebut turut dihadiri oleh negara lain seperti dari Nepal, Denmark dan Amerika Syarikat.\nProf. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan juga menghargai usaha kerajaan yang menubuhkan dasar luar yang baharu, iaitu Diplomasi Kebudayaan yang memberikan peluang kepada duta negara untuk menaikkan keindahan seni sastera dan budaya Melayu di pentas antarabangsa. Tambah beliau, hal ini merupakan kesempatan terbaik kepada rakyat untuk mempromosikan sastera dan budaya Melayu.\nSelain itu, beliau turut berkongsi pengalamannya semasa menyandang Kursi Pengajian Melayu sebanyak dua kali di China pada tahun 2008.\nDaripada empat buah universiti pada tahun 2008 ketika saya datang, sekarang sudah 13 buah universiti yang menawarkan Ijazah Bahasa Melayu.\nBeliau menegaskan bahawa peluang tersebut merupakan peluang terbaik untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa pelbagai kaum di negara ini.\nDr. Raja Rajeswari yang menggunakan bahasa Melayu ketika berucap di pentas India juga berkata bahawa bahasa Melayu yang dituturkannya merupakan penghormatan yang diberikan oleh negara tersebut yang bukan sahaja kepada Malaysia, malah kepada negara lain yang turut menggunakan bahasa ibunda mereka.\nSebagai mengekalkan hubungan diplomatik yang erat antara kerajaan Malaysia dengan India, buku puisi Menganyam Tikar Peradaban yang diterbitkan oleh DBP dan buku Sejarah Perkembangan dan Linguistik Melayu oleh Prof. Emeritus Dr. Asmah Haji Omar menjadi buah tangan untuk dihadiahkan kepada negara tersebut. Buku ini dipilih kerana kandungan buku ini sangat signifikan sebagai simbolik perhubungan diplomatik dan sebagai bukti kepada masyarakat luar tentang kegemilangan bahasa Melayu yang telah bertapak sejak zaman dahulu." "Mise-en-sc\u00e8ne Tivi Shahnon Ahmad\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSastera, dalam hal ini novel, boleh mendekati sinema. Adam Taufiq Suharto, yang banyak menghasilkan filem pendek, menyedari betapa intimnya novel Tivi Shahnon Ahmad dengan bahasa filem.\nNamun, untuk saya sendiri, sekiranya diletakkan A. Samad Said, tak kira apa-apa jua judul bukunya sekalipun, dan dibandingkan dengan novel seorang lagi Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad, tanpa syak, saya akan memilih novel Shahnon sebagai juaranya.\nTugas sebuah novel atau penulisan cerita adalah untuk mencipta sebuah dunia. Dunia yang diyakini dan dipercayai adalah untuk dihidupi, untuk dianuti. Maka, jika kita berpegang teguh pada kenyataan itu, mustahak sekali untuk sesebuah novel menerapkan unsur-unsur visual supaya boleh menciptakan sebuah \u201cdunia\u201d kepada pembaca. Selaku penikmat sinema, tentu sekali yang digemari ialah karangan-karangan yang memprojekkan visual tatkala menelaah. Kerana hakikatnya, yang kita mahu bukanlah sekadar merenungi abjad-abjad, sebaliknya kemahuan agar abjad-abjad itu membentuk sebuah alam dalam benak.\nBarangkali akan ada ramai yang menebak tentulah karya-karya A. Samad Said (Sasterawan Negara) yang bakal dinobatkan juara jika kita mencari visual dalam penulisan. Contohnya seperti Daerah Zeni yang sangat deskriptif:\nDi dalam paya itu, tiga empat tangkai teratai sedang tergigil. Dari sekelompok pokok keladi di kirinya kocakan dan kalungan air semakin membesar, menyebabkan bunga-bunga teratai itu lebih menari-nari. Bebebrapa detik selepas itu ternampak semacam ada sesuatu pergelutan di tengah-tengah kelompok pokok keladi. Dua ekor katak berlainan warna kelihatan melompat tinggi, berdencup jatuh ke dalam air, meninggalkan kalaungan air yang baru, mempesegar semula tarian bunga-bunga teratai. Dari atas ranting sebatang pokok, dua ekor gagak mula terusik oleh kocakan itu, mula menjengah sambil berteriak. Dan seekor ular tiba-tiba saja terjulur dari kelompok pokok keladi, berenang lurus menghala ke sebuah titi yang runtuh. Salah seekor gagak itu melayang turun, menyambar sesuatu, mengembang kepak, berpusing lalu menghinggapi titi. Bunga-bunga teratai itu semakin menari-nari. Seekor pepatung terbang mengejut-ngejut berhampiran. Gagak yang hinggap di ranting tadi terbang melayang pula menghala ke arah mentari turun. Dari sebelah kiri, sekumpulan burung lima sekawan sedang terbang lesu, seolah-olah sedia berlanggar. Langit kuning keperangan indah.\n(A. Samad Said, 1985:91)\nHal ini tentu sekali menunaskan keterujaan. Segala lakonan alam dikisahkan dengan rinci dan Pak Samad bertindak selaku pelukisnya yang halus. Nur Hanim Khairuddin dalam eseinya \u201cPak Samad-Pelukis Cerita, Penulis Citra\u201d menyatakan gaya penulisan Pak Samad ialah garapan piktorialisme. Hal ini berlandaskan tesis Marianna Torgovnick menerusi The Visual Arts, Pictorialism, and the Novel (1985) yang merujuk piktorialisme sebagai \u201ckerja-kerja manusia, tempat, suasana, atau sebahagian suasana seolah-olah ia sebuah lukisan ataupun subjek-subjek untuk dibuat lukisan\u201d (hlm. 55). Nur Hanim menghujahkan tulisan Pak Samad selain realis, juga bersifat naturalis dan impresionis.\nTentu sekali kita boleh sahaja merayakan hal ini. Dan tentu sekali tak dapat disangkal bahawa A. Samad Said ialah pengarang prolifik, terutamanya dalam dampak sastera nusa. Namun, untuk saya sendiri, sekiranya diletakkan A. Samad Said, tak kira apa-apa jua judul bukunya sekalipun, dan dibandingkan dengan novel seorang lagi Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad, tanpa syak, saya akan memilih novel Shahnon sebagai juaranya.\nMengapa muncul pendakwaan sedemikian?\nShahnon Ahmad selaku penggemar penceritaan visual, teguh dengan prinsipnya. Hal ini ditegaskan dalam buku manual penulisannya berjudul Gubahan Novel (DBP, 1989). Dalam bab yang dijudulkan sebagai \u201cLatar\u201d, Shahnon menerangkan peri pentingnya pembinaan latar atau ingin saya sebutkan sebagai mise-en-sc\u00e8ne (istilah seni pengadeganan yang sering digunakan dalam lapangan filem dan teater). Shahnon sendiri menekankan betapa novel yang tidak menekankan latar tidak ubah seperti kisah yang berlaku dalam kepakuman (kekosongan). Karya-karya sedemikian akan terasa seperti \u201cseleranya tidak ada. Yang bergerak terasa bukan seperti manusia biasa tapi objek-objek mati dan kaku\u201d (1989:44). Shahnon juga menekankan penghidupan terhadap objek-objek sekeliling. Beliau mengulas lagi:\nPentingnya latar ini bukan sekadar menyebut tempat saja tapi perlu dieksploit seluas mungkin supaya kesan-kesan latar itu kepada persoalan atau perwatakan terasa; tidak kira sama ada kesan-kesan itu bertentangan atau akuran dengan perwatakan atau persoalan. Kesan-kesan itu diperolehi antara lain dengan cara memanusiakan objek-objek di sekitar tempat itu supaya aspek-aspek indera mengesaninya dan ini akan memberi impak kepada cerita.\n(Shahnon Ahmad, 1989:44)\nMemanusiakan objek-objek itu dapat dikesan dalam sebuah novel beliau, Tivi. Tivi mengisahkan keluarga Mat Isa yang tinggal di sebuah desa terpencil. Mereka hidup harmoni, hidup bertuhan dan hidup besederhana. Namun, kepulangan anak mereka dari kota, disebut sebagai Kak Chah, membawa televisyen (TV) ke rumah akhirnya mendorong pada pelbagai musibah-musibah yang tak diminta. Hatta yang terngeri: perlakuan sumbang mahram si ayah dan si anak.\nNaskhah Shahnon Ahmad ini mempunyai tema modeniti menentang tradisional. Shahnon dalam karya ini ternyata bersikap syak wasangka atau pesimis terhadap modeniti. Hal ini ditampilkan dengan mudah, tenang, bersahaja malah santai melalui salah satu objek modeniti bernama TV. Saya begitu gemar dengan naskhah ini kerana pada satu tahap, karya ini memiliki atmosfera sebuah novel \u201cseram\u201d dengan si televisyen yang didewa-dewakan sebenarnya menjadi \u201chantu\u201d dan mencipta sesuatu yang \u201cseram\u201d untuk terjadi kepada keluarga Mat Isa yang sebelumnya harmoni, bersederhana dan bertuhan. Walaupun hakikatnya, TV itu kaku sahaja di situ. TV itu hanya menyiarkan apa-apa siaran yang hendak ditonton. Sebaliknya, kerakusan hati manusia yang membawa TV itu terlihat sebagai dewa baharu sebenarnya, yang membinasakan sebuah keluarga.\nKepengarangan Shahnon Ahmad dalam TV begitu majestic, bukan hanya kerana permainan visual yang bersahaja, tetapi kemampuannya menyimpan makna untuk diungkap oleh pembaca. Banyak \u201cpenyataan\u201d yang disampaikan secara implisit. Shahnon Ahmad sendiri menekankan, \u201ccerita itu sendiri terasa lebih hidup kalau gambaran tempat yang menjadi latarnya itu digambarkan dengan tujuan-tujuan yang tertentu\u201d (1989:45). Maka, Shahnon memanfaatkan visual untuk menyampaikan \u201ctesis\u201dnya. Contohnya:\nMak Chah sambar sehelai sejadah lain pula. Kali ini terkena sejadah yang baharu bergambar Kaabah. Terang dan berolek kemas. Cepat-cepat mak Chah hampar sejadah itu atas lantai dan TV pun didudukan di atas gambar Kaabah itulah. Mat Isa pun tarik nafas panjang. Lega apabila Tv dilepaskan. Cina itu pun terasa lega juga. Semua sudah selesai apabila sejadah gambar Kaabah itu terhampar di lantai dan TV duduk di atas Kaabah. Mat Isa puas hati nampaknya. Dan dia tak berkata apa-apa. Dia cuma duduk di depan TV menunggu apa yang hendak dibuat oleh Cina.\n(Tivi, 1995:68)\nBerbanding Pak Samad yang memberikan kita paya, teratai, keladi, pepatung, seekor ular, dan dua ekor gagak untuk mencipta sebuah situasi yang mempesona, Shahnon Ahmad dengan santai memberikan kita dua-tiga objek sahaja untuk membuatkan kita terfikir-fikir tentang situasi tadi. Situasi itu menarik bukan kerana jumlah objeknya, tetapi apakah objeknya. Shahnon menanamkan visual TV dan sejadah dengan imej Kaabah kepada kita.\nDengan dua objek yang saling berkontradiksi antara satu sama lain, Shahnon membuka ruang wacana. Dengan ungkapan \u201csemua sudah selesai apabila sejadah gambar Kaabah itu terhampar di lantai dan TV duduk di atas Kaabah.\u201d Situasi ini bukan sekadar menunjukkan kehadiran TV ke rumah tanpa ada tempat yang sesuai untuk meletakkan televisyen tersebut, tetapi apabila TV tersebut diletakkan di atas sejadah dengan imej Kaabah, Shahnon seolah-olah mencadangkan sebuah tafsiran, yakni kerosakan nilai agama keluarga itu yang disebabkan oleh kehadiran televisyen. Keruntuhan nilai agama dan peradaban manusia sememangnya terserlah pada penghujung novel dengan melihat keluarga Mat Isa jadi porak peranda dek hubungan sumbang mahram mereka hasil pengaruh televisyen.\nShahnon bijak kerana tidak mengulas visual ini. Shahnon membiarkan sahaja objek-objek itu bercerita, meresap masuk dan bersatu sekali dengan situasi tanpa perlu \u201cberfalsafah-falsafahan\u201d. Kita lihat contoh lain:\nDan aku pun tidak letak beg sekolah di penjuru itu lagi. Penjuru itu tidak boleh diganggu lagi, sebab penjuru itu khusus untuk TV yang dibeli oleh Kak Chah untuk kami sekeluarga. Beg sekolahku dilontarkan sahaja di penjuru bersama-sama dengan longgokan sejadah telekung dan jubah ayah. Penjuru disebelah matahari jatuh itu tidak boleh diusik oleh sesiapa lagi. Datang saja dia di situlah takhtanya. Oleh itu mestilah bersih, mesti kemas, mesti tidak ada habuk apa-apa. Semua sampah sarap, tahi cicak, debu dan serdak-serdak yang boleh ganggu TV tidak boleh ada lagi, pesan Kak Chah. Nanti apabila debu seketul atau sampah secalit masuk celah TV, rosaklah TV.\n(Tivi, 1995:24)\nDi sini, Shahnon sekali lagi membuka ruang kepada pembaca dengan tidak mengulas apa-apa tentang objek-objek yang ditanam dalam situasi ini, yakni \u201cpenjuru sebelah matahari jatuh\u201d, \u201ctakhtanya\u201d dan \u201cTV\u201d. Dalam situasi ini, keluarga Mat Isa ingin meletakkan televisyen di penjuru matahari terbenam. Shahnon menggunakan istilah \u2018takhta\u2019 untuk tempat di mana televisyen akan diletakkan bagi metafora yang menggambarkan kedudukan TV dalam keluarga itu. TV itu bakal menjadi raja!\nKita juga boleh melihat pada perenggan sebelumnya (yang tidak saya sertakan), penjuru rumah di mana matahari jatuh itu asalnya ialah tempat mereka sekeluarga bersembahyang. Penjuru tempat mereka bersujud kepada Tuhan itu kini mahu digantikan dengan tempat berliburan dengan sang raja bernama TV. Namun, TV yang merajai keluarga itu nanti akhirnya membawa kepada huru-hara dan \u201ckiamat\u201d. Hal ini terbukti pada penghujung novel, yakni:\nBatu lintar yang tajam berbisa itu berkecai dan pucuk kelapa pun patah serta luruh ke bumi. Dan batu lintar itu meneruskan lagi perjalanannya memanah dua makhluk yang langsung tidak boleh diampun itu. Dan kedua-duanya, ayah Chah dan adik Chah, terbenam masuk ke dalam bumi dengan amat mudah.\n(Tivi, 1995:128)\nTV, sejadah dengan gambar Kaabah, penjuru rumah di mana matahari jatuh, dan lain-lain lagi membuktikan kepekaan Shahnon memanusiakan objek-objek dalam mise-en-sc\u00e8nenya. Sebagai penikmat sinema, antara hal lain yang saya terokai semasa proses pembacaan karya Shahnon Ahmad ini ialah, saya boleh menganalisisnya sebagaimana saya dapat menganalisis sesebuah filem. Ada pendekatan sinema dalam tulisan Shahnon (sama ada sengaja atau tidak sengaja) yang menyebabkan analisis terhadap novelnya boleh dinilai sebagaimana pembaca menilai filem. Barangkali disebabkan oleh Shahnon menanamkan kita visual daripada kata-kata, menegaskan kepentingan latar, dan dengan visual itu beliau membuka ruang kepada pembaca untuk mengisinya. Tinggal lagi filem mempunyai pelbagai pelantar, seperti suntingan, sinematografi dan bunyi, sementara novel atau kesusasteraan terhad pada kata-kata. Umpamanya filem The Godfather (1972) yang meninggalkan kita suntingan jukstaposisi (sandingan) antara babak pembaptisan bayi dengan babak samseng-samseng dibunuh yang melahirkan sintesis (jawapan) tentang hipokrasi dalam dunia kongsi gelap.\nUntuk mendakwa kewujudan sinematik secara fokus dalam medium susastera, sudah tentu sekali memerlukan sebuah esei baharu untuk membahaskannya dengan lebih rinci dan dalam. Dalam esei ini, cukuplah sekadar menegaskan tulisan-tulisan Shahnon Ahmad yang bermain dengan visual sememangnya mendekati sinema dengan memanfaatkan latar dan mise-en-sc\u00e8nenya.\nSaya teringat kata-kata daripada seorang pengkritik dan ahli arkib filem Indonesia, Lisabona Rahman dalam sebuah master classnya di Temasya Wayang Budiman 2020 yang lalu, yakni \u201cSemakin jelas visualnya, semakin kurang sinematiknya\u201d. Biarpun konteks \u201cjelas\u201d dan \u201ckurang jelas\u201d yang dikatakan oleh Lisabona merujuk filem secara teknologi atau bentuknya, tetapi hujah itu masih boleh dipakai untuk hampir kesemua lapangan seni. Mustahaknya, seni harus banyak menyimpan kerana lagi banyak disimpan lagi luas seni dapat memberi. Tentu sahaja hal ini berkait dengan pandangan Robert Bresson, pembikin filem Perancis legenda yang pernah sekali mengungkapkan: \u201cYou can\u2019t show everything. If you do, it\u2019s no longer art.\u201d (\u201cKamu tidak boleh menunjukkan kesemuanya. Jika kamu melakukannya, itu sudah bukan lagi seni.\u201d) Al-Fatihah, Cikgu Shahnon.\nNovel Tivi boleh dibeli di sini.\n\u00a0\nRUJUKAN \nA. Samad Said, 1985. Daerah Zeni. Petaling Jaya: Fajar Bakti.\nDinsman dan Kasim Muhammad, 2015 Nurani: Kata Luhur Sahabatmu. Kuala Lumpur: Seniman Paksi Rakyat.\nShahnon Ahmad, 1989. Gubahan Novel. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.\nShahnon Ahmad, 1995. Tivi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.\n_________________________\nAdam Taufiq Suharto merupakan penulis dan pengkarya bebas. Selain pernah bertugas sebagai penulis skrip untuk stesen televisyen tempatan, beliau juga aktif membikin filem pendek, juga menulis esei dan cerpen." "Manfaat Kelab Sastera di Sekolah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nWajarkah kelab sastera ditubuhkan di sekolah? Jika difikir-fikirkan, hal ini amat wajar kerana kelab tersebut dapat memberikan peluang yang lebih luas kepada pelajar yang meminati bidang kesusasteraan untuk aktif dalam hal-hal kesusasteraan, baik berbentuk apresiasi mahupun penulisan.\nTidak dinafikan Persatuan Bahasa Melayu di sekolah turut menyentuh soal kesusasteraan. Walau bagaimanapun, kewujudannya masih hanya terbatas pada hal-hal yang berkaitan dengan bahasa sahaja dan jarang-jarang mampu bergiat lebih aktif dalam kegiatan sastera yang khusus.\nKelab sastera wajar ditubuhkan dari peringkat sekolah rendah lagi untuk menanamkan semangat mencintai sastera dan budaya pada peringkat awal. Kewujudan kelab sastera di sekolah rendah boleh menggalakkan semua pelajar mendekati bidang itu, tanpa mengira minat genre mereka.\nSeperkara yang perlu disedari ialah, sudah ada kanak-kanak sedari tujuh tahun yang mempunyai bakat menulis. Namun begitu, oleh kerana tiada cara atau pendedahan yang berkesan untuk menjejaki dan membimbing minat serta bakat, usaha memupuk minat ini mati begitu sahaja. Oleh itu, kelab sastera di sekolah dapat membantu mencungkil dan mengembangkan bakat-bakat baharu.\nBagi pelajar sekolah menengah pula, tidak semua yang meminati kesusasteraan datang daripada aliran sastera. Sebaliknya, ramai juga yang muncul daripada aliran sains melalui pendedahan mereka terhadap bahan-bahan KOMSAS. Kumpulan bukan dari aliran sastera inilah yang perlu dikesan dan diasuh.\nAntara yang lebih penting daripada penubuhan kelab sastera ialah mengukuh dan menumbuhkan minat terhadap kesusasteraan dalam kalangan pelajar. Jika hal ini diwujudkan pada peringkat sekolah rendah lagi, minat boleh ditumbuhkan lebih awal, dan akan dapat diperkukuh pada peringkat sekolah menengah.\nPenulis bebas dari Kelantan, Salman Sulaiman bersetuju dengan cadangan penubuhan kelab sastera di sekolah. Beliau juga bersetuju dan turut mengatakan lebih baik jika bermula dari sekolah rendah.\n\u201cJika kita ada kelab untuk subjek lain, mengapa tidak sastera? Lihat bagaimana sistem pendidikan di Barat menghargai karya para sasterawan mereka dan menerapkan perkara itu sejak kecil, iaitu di sekolah rendah. Dalam hal ini, Barat patut dicontohi,\u201d katanya.\nMemang sekarang, kata Salman lagi, kita ada ramai sasterawan muda yang berpendidikan sains seperti doktor perubatan, jurutera dan jurubina.\n\u201cSastera memang untuk semua orang tanpa mengira dalam bidang apa-apa pun. Justeru, penubuhan kelab sastera di sekolah menengah adalah sangat tepat, dan perlu dibuka kepada semua pelajar dari pelbagai aliran,\u201d tegas Salman yang menulis sajak dan cerpen.\nKhairuddin Ayip pula mengatakan guru penasihat setiap persatuan perlu didedahkan dengan aspek sastera yang lebih luas.\nTambah mantan pegawai perkhidmatan pendidikan yang aktif menulis pada 1980-an dan 1990-an itu, kelab sastera boleh digabungkan dengan kelab budaya menjadi persatuan sastera dan budaya. Untuk itu, katanya, hal ini memerlukan guru yang arif dan meminati sastera.\n\u201cBanyak karya sastera berkembang seiring dengan budaya seperti pantun. Tidak dinafikan sekarang ialah zaman kepesatan Revolusi Perindustrian 4.0, dan sastera turut terkena tempiasnya. Walau bagaimanapun, sastera dibawa seiring dengan kemajuan industri tersebut,\u201d kata Khairuddin yang kini bertugas sebagai perunding penerbitan agensi kerajaan dan swasta.\nPenyair Nassury Ibrahim turut bersetuju dengan penubuhan kelab sastera ini. \u201cJika ada kelab bahasa dan kelab budaya di sekolah, mengapa tidak kelab sastera? Sekolah Menengah Tengku Intan Zaharah di Dungun, Terengganu misalnya, pernah mewujudkan persatuan semacam kelab sastera yang diberi nama Gabungan Penyair Remaja Intan atau GAPRI,\u201d ujar Nassury, menghimbau sejarah kira-kira 36 tahun lalu.\nMenurutnya, GAPRI bergiat rancak, termasuk berhasil menerbitkan kumpulan sajak berjudul Kuala pada tahun 1983.\nTambah Nassury, antara penulis yang berjaya dilahirkan oleh GAPRI ialah Tuan Faridah S. Abdullah, Rozaman Ismail, Ameer Habeb, Zamri Salleh, Ruslan Ngah, dan beliau sendiri." "Bicara Tokoh Dalam Talian Perlu Fokus dan Perancangan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sangat rugi apabila ruang untuk membicarakan karya penulis anak negeri di platform seperti media sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang boleh diikuti oleh seluruh rakyat Malaysia tidak digunakan sepenuhnya.\nHal ini kerana, penulis anak negeri yang bermastautin di negeri sendiri seperti acara Bicara Tokoh Penulis Kedah bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan 2021 Peringkat Negeri Kedah kelmarin, bukanlah selalu diadakan.\nNamun, apabila panel tidak dapat mengupas dengan baik dalam masa yang terhad, sebaliknya berbicara soal tidak penting, hal ini memang merugikan.\nPenulis dan penyelidik, Dr. Husairi Hussin memulakan acara dengan membentangkan kajian mengenai Jihaty Abadi \u2013 tokoh penulis Kedah. Namun begitu, beliau tidak banyak mengupas mengenai karya Jihaty secara terperinci sebaliknya lebih tertarik untuk bercakap mengenai penggunaan nama samaran yang dipilih oleh Jihaty. Hal ini agak meleret walaupun beliau turut juga memberitahu latar belakang Jihaty secara serba sedikit dan menyebut judul karya pengarang itu secara sepele.\nHussairi hanya kemudiannya benar-benar mengupas mengenai puisi Jihaty apabila ditanya oleh penonton pada hujung acara. Ketika itu, barulah kita dimaklumkan, Jihaty, penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) 1991, tiada identiti dari segi bentuk sajak tetapi mempunyai idealisme yang kuat dalam ungkapan sajaknya.\nBayangkan jika tiada soalan sedemikian daripada penonton?\nPembentangan Dr. Phat a/l Awang Deng dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia sangat menarik apabila mengupas mengenai karya Osman Ayob. Namun malangnya, dalam masa yang singkat mengapa perlu mengupas hingga tiga naskhah novel?\nPendekatan struktural yang dipilih oleh Phat menarik tetapi lebih molek jika hanya membincang satu atau dua (sebagai perbandingan) novel sahaja kerana ia akan membolehkan kupasan yang padat dan terfokus.\nKupasan mengenai novel Dukhan: Langit Akhir Zaman oleh Osman yang terbit pada tahun 2013 sangat menarik apabila Phat mengaitkan senario dalam novel itu dengan perkembangan semasa.\nPhat berkata, naskhah terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) itu menceritakan sekumpulan manusia pada masa hadapan yang berhadapan dengan kesukaran untuk meneruskan hidup apabila bumi bertembung dengan meteor.\n\u201cKeadaan ini menyebabkan malapetaka sehingga membuatkan manusia tidak boleh keluar rumah, bergelap dan hanya bergantung kepada Allah SWT. Manusia pada zaman itu juga keluar dengan memakai pelitup muka bagi mengelak daripada jangkitan paru-paru.\n\u201cSaya kagum dengan Osman kerana pembacaannya dan apa yang ditulisnya pada tahun 2013 relevan dengan apa yang kita hadapi ketika ini,\u201d katanya.\nNamun sayang, kerana masa yang terhad dan perlu membicarakan tiga buah novel, kupasan Dukhan: Langit Akhir Zaman tidak dapat dikongsi dengan lebih terperinci.\nPenulis, Hassan Baseri Budiman berkongsi mengenai Ismail Restu dan bagaimana kerjaya Ismail sebagai guru mempengaruhi kepengarangannya. \u201cIsmail menjadi guru sejak usianya 16 tahun dan walaupun menulis sejak\u00a0 tahun 1972 dan merentas genre, tetapi elemen menasihat itu terus kekal dalam karya beliau.\n\u201cMisalnya dalam naskhah pantun kanak-kanak juga awal remaja, pantun yang dikarang oleh Ismail membawa unsur nasihat seperti berikut, hutan belukar terbakar rentung/batang rumbia dikerat-kerat/rajin belajar memang beruntung/akan bahagia dunia akhirat,\u201dkatanya.\nSatu hal yang perlu diperbaiki, sesi dalam talian dan acara bersemuka sangatlah berlainan. Apabila panel dan moderator gagal memahami hal itu, masa yang sepatutnya digunakan untuk bercakap mengenai penulis dan karyanya menjadi remeh-temeh dengan ucapan-ucapan pada awal acara yang tidak kompeten.\nAcara Bicara Tokoh Penulis Kedah yang berlangsung dalam talian direalisasikan dengan kerjasama DBP Wilayah Utara, Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah dan Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI).\nKita boleh menyimpulkan dengan mengakui Kedah mempunyai ramai penulis hebat, malah sudah melahirkan tiga orang Sasterawan Negara, iaitu Dato\u2019 Abdullah Hussain, Dato\u2019 Shahnon Ahmad dan Datuk Dr. Zurinah Hassan.\nNamun terdapat juga ramai penulis kelahiran Kedah yang berada di luar negeri itu dan mencipta nama besar pada peringkat kebangsaan tetapi mungkin kerana mereka bukan ahli ASASI, tidak menetap di situ lalu karya mereka kurang diperkatakan dan jarang juga dirujuk sebagai penulis Kedah.\nAdakah mereka hanya akan dirujuk sebagai penulis Kedah apabila bergelar SN? Hal sebegini akan merugikan sastera Kedah." "Pembacaan dan Penyelidikan Bangunkan Sukarelawan Nan Lima\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pembacaan, penyelidikan dan pengalaman adalah sebahagian daripada proses pembinaan karya untuk seorang penulis. Justeru, tidak hairan ada yang menyebut, jangan \u201cbergaduh\u201d dengan penulis kerana anda akan mati berkali-kali dalam karyanya.\nHal ini dapat dilihat menerusi pendedahan penulis Nurimas SN dalam Rancangan Bicara Karyawan: Sukarelawan Nan Lima menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nNurimas sewaktu memperkenalkan naskhah tulisannya itu berkata, novel setebal 159 halaman itu dihasilkan berdasarkan pembacaannya mengenai tragedi banjir besar, bah kuning yang melanda Kelantan tidak lama dahulu.\n\u201cNaskhah ini mengangkat lima watak remaja, iaitu Amni, Hairi, Bela, Chew Han dan Emma yang masing-masing berminat dalam dunia kesukarelawanan,\u201d katanya.\nNurimas berkata, dia sengaja membina watak dalam naskhah ini sebagai pelajar pengajian tinggi untuk menunjukkan kepentingan ilmu tetapi terdapat satu watak, iaitu Emma yang tidak mendapat pendidikan tinggi tetapi tidak pernah berputus asa untuk bangkit mengatasi kekurangan diri.\n\u201cKlimaks cerita ini apabila salah seorang watak akhirnya bertemu dengan ibunya yang terpisah selepas tragedi banjir. Dia bertemu semula di pusat bencana ketika misi bantuan,\u201d katanya.\nTegas Nurimas, watak dalam Sukarelawan Nan Lima digambarkan sebagai individu yang tabah dan kental semangat serta sering memberi bantuan kemanusiaan setiap kali berlaku banjir, bukan hanya di Kelantan dan Terengganu, malah hingga ke Aceh.\nSukarelawan Nan Lima ialah novel remaja yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 2021 dan dijual pada harga RM18. Novel ini boleh dibeli di sini." "Filem Bukan Karya Sastera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Adakah filem boleh dianggap sebagai karya sastera jika ia disandarkan kepada lakon layar semata-mata yang menjadi tulang belakangnya? Namun, mengangkat lakon layar sebagai sastera dengan membuang unsur-unsur lain dalam jalinan pembikinan filem, menjadikannya \u201ctidak hidup\u201c dan seterusnya menafikan keberadaannya sebagai sebuah karya sastera.\nKesimpulan itu dibuat oleh dua panel dalam Rancangan Sembang Tamu: \u201cFilem Sebagai Sastera? Suatu Enigma Pentakrifan\u201d menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini yang menampilkan Pensyarah Kanan Universiti Sains Malaysia, Dr. Wan Hasmah Wan Teh dan penulis, Rebecca Ilham. Program bual bicara ini merupakan anjuran bersama majalah Dewam Sastera serta Tunas Cipta, dan dilaksanakan oleh Bahagian Multimedia DBP.\nTegas Rebecca, sebelum filem dimasukkan dalam \u201crumah besar\u201d yang dipanggil sastera, ia seharusnya memenuhi sifat sastera itu sendiri. \u201cSama ada boleh atau tidak kita meletakkan filem sebagai karya sastera hal ini mesti dimulai dengan mendefinisikan dulu apa itu sastera. Sastera ialah karya bertulis sedangkan filem ialah karya visual.\n\u201cJika kita mengambil lakon layar sebagai ukuran untuk membolehkannya dianggap sebagai karya sastera, kita juga perlu sedar, lakon layar tidak boleh hidup secara sendri. Ia sebaliknya hidup bersama karya akhir filem, lakonan dan visual. Hal ini yang membezakannya dengan sebuah karya sastera,\u201d katanya.\nTegas Rebecca, jika diteliti lakon layar juga selalunya tampil dengan bahasa yang kaku dan teknikal kerana tidak dibuat untuk bacaan umum sebaliknya dihidupkan oleh lakonan dan unsur-unsur sinema lain seperti syot penggambaran, suntingan, set lokasi, adunan runut bunyi, busana, efek khas, pengarahan seni, dan skor muzik.\n\u201cHal ini berbeza pula dalam konteks skrip drama teater. Mengapa skrip drama dianggap sebagai sastera? Hal ini kerana kekuatan skrip dilihat daripada teks yang diucapkan walaupun ia disokong dengan lakonan di atas pentas. Lontaran dialog (lines) dalam teater juga panjang dan mementingkan kata ungkapannya berbanding filem yang bahasanya tertumpu pada visual.\n\u201cMalah, jika kita menonton teater, hal yang dinanti-nantikan ialah lantunan ayat atau skrip pelakon. Malahan, jika menonton teater, audiens selalunya akan kerap kembali pada skrip asal naskhah itu, misalnya jika kita menonton karya klasik seperti drama Shakespeare,\u201d katanya.\nWan Hasmah juga senada dengan Rebecca apabila menegaskan lakon layar walaupun turut merupakan naskhah bertulis dan menyamai struktur sesebuah karya sastera yang mempunyai plot, jalinan cerita, watak dan perwatakan, tetapi lakon layar akan tinggal kaku jika tidak dihidupkan dengan pelaksanaan penggambaran, baik sewaktu produksi ataupun pascaproduksi (seperti suntingan-jalinan syot babak dengan suntingan-adunan suara).\nKatanya, hal ini berbeza dengan karya sastera yang sempurna sebagai sebuah hasil seni yang apabila sesebuah karya itu selesai ditulis dan diterbitkan, ia boleh terus dinikmati oleh pembaca.\n\u201cDari satu segi yang lain, tanggapan visual dalam filem juga terhad berbanding karya sastera kerana visualnya sudah dibentuk oleh produksi. Ia tidak memberikan ruang kepada penonton untuk membayangkan visual.\n\u201cHal ini berbeza dengan karya sastera. Untuk sebuah novel yang sama, setiap pembaca mempunyai pelbagai tanggapan visual berdasarkan teks yang dibaca, menurut pengalaman dan juga pengetahuan mereka.\n\u201cNamun, sesuatu yang perlu diakui, visual dalam filem sememangnya mempunyai lebih pengaruh ke atas penonton,\u201d katanya.\nPenegasan kedua-dua panel jelas mengasingkan filem sebagai sebuah karya sastera, malah Rebecca menegaskan, selalunya jika sesebuah karya sastera diadaptasi sebagai filem, tidak akan terjadi penyalinan yang tepat.\n\u201cSebenarnya hal ini diakui oleh penggiat filem sendiri, misalnya pengarah filem terkenal, U-Wei Haji Saari dalam satu diskusi berkaitan filem adaptasi beberapa tahun lalu yang menyebut bahawa produksi filem selalunya akan menjadi \u2018curang\u2019 dalam adaptasi teks karya.\n\u201cTeks sastera boleh jadi sumber yang kuat pada filem tetapi memindahkannya kepada filem tidak pula menjadikan filem itu dianggap sebagai filem sastera, sebaliknya ia masih dianggap sebagai filem adaptasi,\u201d katanya.\nSementara itu, Wan Hasmah menegaskan, dalam perkembangan teknologi semasa, sastera juga perlu bergerak seiring untuk memastikan ia kekal relevan. Ia tidak boleh berada dalam ruang keadaan yang sama.\n\u201cDengan perkembangan teknologi semasa, ada persoalan mengenai apakah masa depan sastera? Dalam hal ini kita tidak boleh meminggirkan teknologi. Sebaliknya, jika kita ingin karya kita dibaca dan dicapai oleh lebih ramai orang, kita perlu lebih terbuka untuk memindahkan karya itu kepada media baharu,\u201d katanya.\nHal ini katanya akan membantu memperkembangkan sastera dan tidak mengunci karya itu kepada diri pengkaryanya sahaja." "Andalusia Abad Ke-21\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSempena bulan Jun 2021, Dewan Sastera menyiarkan kembali wawancara bersama-sama mantan Felow Amat Utama Akademik, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Allahyarham Dr. Muhammad Uthman el-Muhammady tentang potensi falsafah ilmu dan kesusasteraan dalam pendidikan dan kegeniusan Hikayat Hang Tuah. Semoga Tuhan mengampuninya dan menempatkannya bersama-sama hamba-Nya yang dikasihi. Al-Fatihah. Wawancara ini pernah tersiar dalam Dewan Sastera November 2012.\nKita ialah insan adamiah, menurut al-Quran dan hadis yang dicipta dengan kudrat rahmat-Nya. Kita mampu mencapai kehampiran dengan-Nya dan mampu mendapatkan keredaan-Nya. Kita ialah hamba-Nya dan juga khalifah-Nya di muka bumi ini. Kita bukannya mempunyai zat kehaiwanan seperti imaginasi sosial. Mana boleh zat insaniah dan kehaiwanan bercantum.\nDewan Sastera (DS) mendapatkan tokoh pendidik dan agamawan terkemuka, Dr. Muhammad Uthman el-Muhammady, untuk memberikan pandangan beliau tentang Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak. Dr. Muhammad Uthman el-Muhammady yang mesra dipanggil \u201custaz\u201d merupakan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2005, dan kini menyandang jawatan Felow Amat Utama Akademik, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC).\nDS: Secara umumnya, bolehkah ustaz berkongsi pandangan tentang situasi terkini pendidikan di negara kita?\nUthman: Secara amnya, saya nampak dalam prinsip \u201cwaamma binikmati rabbika fahaddis\u201d (\u201cnikmat engkau sebut\u201d) menuntut kita bersyukur, termasuk dalam bersyukur itu kita ingatkan Dia dalam erti bersyukur. Ingat nikmat bangsa ini penting. Dari tahun 1950-an sampai sekarang, tengok perkembangan pendidikan, daripada buta huruf yang begitu banyak sehingga hampir tidak ada buta huruf. Daripada akses pendidikan yang sangat minima, sampai sekarang ini melonjak sehingga sekitar 80 peratus dan lebih lagi dalam sesetengah bidang. Dalam bidang ekonomi pun, daripada pertanian beranjak ke ekonomi berasaskan pengetahuan dan industri. Dari segi nilai, kita tonjolkan nilai berdasarkan nilai Islam. Kemudian, dan segi profesi, bidang perguruan diberikan penekanan.\nWalau bagaimanapun, daripada keunggulan yang ada dalam tamadun Islam, banyak lagi hal lain yang perlu kita giatkan. Guru mesti berfungsi sebagai mualim, penyampai ilmu yang betul. Guru perlu menjadi ahli tarbiah, meningkatkan peribadi manusia. Guru perlu menjadi muaddib, pendidik adab. Guru perlu menjadi penyampai nilai dan prinsip yang betul, \u201cirsyad\u201d. Guru perlu menjadi pengajar kemahiran sehingga ke paras yang sangat tinggi dalam semua bidang \u2013 seorang \u201cmudarris\u201d.\nDalam keunggulan tamadun Islam, memang banyak perkara yang perlu kita buat. Ringkasnya, saya bersyukur kepada Allah dan pemimpin kita yang buat baik. Saya pandang positif, betul jika dipandang dari aspek tertentu khususnya dalam senario antarabangsa, dari segi pencapaian sains dan teknologi, ada banyak ruang yang perlu kita penuhkan. Walau bagaimanapun, berbanding dengan negara Islam lain, kita ini seperti Andalusia abad ke-21. Saya menggunakan istilah ni dengan perasaan yang betul dan sedar.\nDS: Dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan, terdapat lima aspirasi yang mahu diangkat dalam diri seseorang pelajar. Antaranya, etika dan kerohanian serta identiti nasional. Menurut pandangan ustaz, apakah ada teks persuratan lama kita, sastera atau bukan sastera yang sesuai untuk mengangkat aspirasi ini?\nUthman: Memang ada. Banyak teks persuratan dan sastera tradisional mampu memberikan nilai, identiti, rasa harga diri, mampu memberikan makna \u2013 the nation of meaning. Hal ini penting walaupun orang kata penekanan tersebut tidak akan mampu menolong kita dalam Teras Produk Nasional (GMP). Sebenarnya kita sedang membangunkan manusia. Untuk membangunkan manusia, kita perlu ada \u201csense of identity\u201d. Kita ini mewarisi satu tamadun Melayu dan Islam di rantau ini. Kita mesti faham jati diri kita dan di sinilah dapat memahami siapa kita, apa makna hidup kita, apa yang baik dan patut kita buat dan apa yang memberikan harga sebenar pada diri \u201cinsan adamiah\u201d itu. Saya selalu tekankan konsep \u201cinsan adamiah\u201d ini sebagai The Adamic Man. Jika tidak, orang kita akan terbawa-bawa dengan khayalan dan imaginasi sosial sekarang yang menganggap insan sebagai \u201cthe imagined perfected apes and monkey of the 21st century\u201d.\nKita ialah insan adamiah, menurut al-Quran dan hadis yang dicipta dengan kudrat rahmat-Nya. Kita mampu mencapai kehampiran dengan-Nya dan mampu mendapatkan keredaan-Nya. Kita ialah hamba-Nya dan juga khalifah-Nya di muka bumi ini. Kita bukannya mempunyai zat kehaiwanan seperti imaginasi sosial. Mana boleh zat insaniah dan kehaiwanan bercantum. Nafsu itu dirangkum dalam aspek insaniah, bukan aspek kehaiwanan. Kita kena faham jati diri kita, dan jati diri kita ialah Islam. Apabila bergelar Islam, kita tekankan yang memandu kita ialah wacana perdana, bukannya teori perpinggiran. Di sanalah pelbagai persoalan diungkapkan. Kita dijelaskan tentang apa itu kebajikan, apa itu kebaikan.\nWacana agung kita sekurang-kurangnya ada empat. Satu, aspek teologi, iaitu tentang Tuhan dan ketuhanan. Kedua, wacana kerohanian, moral dan falsafah. Kesempurnaannya ada dalam aspek Imam al-Ghazali. Kemudian, kita ada wacana hukum, berpaksikan imam mujtahid. Dalam konteks negara ini, kita berpaksikan kepada mazhab Imam Syafie. Yang keempat, wacana ketamadunan budaya, kita berpaksikan Ibn Khaldun dan pada zaman moden ini, Malek Bennabi. Hal ini perlu ditekan dan ditonjolkan dalam mana-mana ruang yang boleh dalam sistem pendidikan kita. Apabila ditekankan bangsa Melayu, bukannya kita rasis, tetapi bangsa ialah salah satu daripada ayat Allah, bukan hanya kemalangan dunia yang tidak bersangkut paut dengan kesakralan, sebab bangsa ini termasuk dalam ayat Allah. Dalam Surah Luqman, Allah ada berfirman, \u201cKelainan yang terdapat dalam bangsa-bangsa kamu ialah warna kulit dan bahasa kamu\u201d. Apabila Allah memartabatkan bahasa, ikhtilaf al-sinatikum, itu membawa kita kepada renungan yang menusuk kalbu. Apabila kita sebut Melayu, bukan darah daging per se, tetapi nilai dan prinsip yang ada pada bangsa itu. Jati diri kita ada dalam sastera, dan sastera lama itu terkait dengan Islam. Hal ini terpapar dalam gurindam, pantun, pepatah dan prosa. Banyak teks ini memperlihatkan kesepaduan antara wahyu dengan akal.\nDS: Anjakan kedua dalam Laporan Awal Pembangunan Pendidikan, memperkenalkan Sastera Inggeris. Dalam masa yang sama, kelas Kesusasteraan Melayu di sekolah makin mengecil. Ustaz ada menyentuh soal ketamadunan budaya, sastera kebangsaan memainkan peranan utama. Oleh yang demikian, apakah tanggapan ustaz terhadap hal ini?\nUthman: Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan yang akan dimuktamadkan pada Disember 2012 nanti, bidang sastera janganlah ditinggalkan, tetapi patut menjadi teras. Hal ini demikian kerana kita mahu mendidik manusia berfikir agar boleh menaksir sesuatu. Hal itu yang diajar dalam sastera. Dalam sains, hanya fakta semata-mata. Betul kita memerlukan fakta dan teori saintifik dalam membangunkan bangsa, tetapi kita tidak boleh melupakan aspek imaginatif yang ada dalam tamadun manusia. Oleh sebab itu, kita perlu menekankan pembelajaran sastera taraf tinggi agar sesuai dengan objektif yang hendak dicapai.\nJika kita melihat dalam tamadun kita, banyak pemimpin terdahulu yang terlibat dalam dunia sastera. Raja Ali Haji misalnya, pengarang sastera yang ulung. Ulama besar terlibat juga dalam sastera seperti Imam Syafie. Ibn Hazam juga mempelajari sastera. Hasil sasteranya dipuji sebagai sangat tinggi oleh orientalis Barat. Shahrastani, pengarang al-Milal wa al-Nihal juga begitu. Dahulu, di istana Melayu, waktu hendak berperang pun mereka membaca buku sastera. Maka aspek imaginatif tidak boleh terpisah. Kata-kata orang Melayu lama banyak mempunyai aspek ini, jadi perlu digabungkan dengan aspek saintifik. Kita mahu generasi yang dilahirkan sekarang perlu mempunyai akal sepadu. Ada tiga aspek tentang akal sepadu. Yang pertama akal rasional. Dengan akal inilah kita berfikir dan menajamkan pemikiran. Kemudian, akal ubudiyyah, yang datang dengan iman, kekhusyukan dalam ibadah, dan kesedaran tentang Tuhan. Yang ketiga akal amali, berkaitan dengan praktikal, kemahiran, kepandaian dan pertukangan.\nDalam sastera Melayu, sampai sekarang tidak ada contoh yang terbaik yang menggabungkan hal ini, kecuali dalam Hikayat Hang Tuah. Hang Tuah mempunyai pemikiran yang tajam sebelum melakukan sesuatu. Hang Tuah akan masuk ke dalam pustaka, kemudian melakukan perancangan dengan teliti. Dari aspek ubudiyyah, ibadah yang dilakukan oleh Hang Tuah sangat hebat. Kesedarannya tinggi. Dalam kisahnya, Hang Tuah bertemu dengan Nabi Khidir a.s. Jika sudah bertemu dengan Nabi Khidir, taraf kematangan rohaniahnya sangat tinggi. Itulah gambaran dalam sastera imaginatif. Dalam realiti sejarah, itu soal lain. Keberkesanannya dalam tindakan amat hebat. Saya menggambarkan bahawa Hang Tuah ini seperti puting beliung dalam erti yang positif. Puting beliung mempunyai titik tengah yang tidak bergerak, hal ini merujuk kepada peribadi dan rohaninya, tentang zikir dan tafakurnya. Bahagian luar itu gerak-gerinya. Beliau sentiasa melakukan pelbagai hal yang sangat menakjubkan dan sangat intensif. Itulah gambaran peribadi yang diperlukan sekarang. Hanya sastera yang boleh memberikan gambaran semacam itu.\nDalam masyarakat, kalau kita ambil Hang Tuah sebagai gambaran masyarakat, banyak yang positif. Ada kesepaduan akal rasional, akal ubudiyyah dan akal amali. Dari segi guru, kepimpinan, persahabatan, penguasaan bahasa dan ilmunya mengikut keperluan. Hang Tuah mempunyai akauntabiliti yang tinggi sehingga kepentingan dirinya tidak ada. Sultan pada Hang Tuah bukannya dilihat sebagai individu, tetapi satu institusi. Jika sultan tidak ada, akan berlakunya kekejaman (barbarian). Orang Islam tanpa ulil amri akan menjadi kaum jahiliah. Betul, dalam syariat, orang yang memberontak terhadap ulul amri, itu kaum bughah, kaum penderhaka, kecuali pemimpin kuffar. Hal ini bukan masalah fahaman parti, ini yang selalu saya tekankan, ini ialah masalah ketamadunan.\nDS: Apakah harapan ustaz terhadap sastera kita?\nUthman: Saya mempunyai harapan yang positif, bahawa kita membina tradisi sastera yang baik, hasil daripada pengalaman kita yang berlaku selama ini seperti yang tergambar dalam sejarah kita. Perubahan mestilah berdasarkan kesinambungan ini. Saya bersandarkan harapan pada keyakinan kita terhadap Allah SWT, nikmat yang telah kita capai, bibit-bibit yang perlu kita tambah baik dan gabungkan. Kita perlu menyatukan kembali pemikiran orang Melayu yang sudah tercecah oleh pelbagai pemikiran yang dalam banyak hal, datang daripada keadaan yang tidak cermat dan gejala ini mestilah ditangani dengan kembali kepada wacana arus perdana. Saya mempunyai keyakinan bahawa kita mampu berhadapan dengan segala cabaran ini, kerana telah di\u201camin\u201d oleh Nabi SAW. Bangsa Melayu ialah satu bangsa yang berada dalam arus perdana Islam. Kita tidak harus berada di luar arus itu, melainkan jika ada usaha hendak memesongkannya. Kita perlu kembali kepada akal umbi, jati diri dan nilai rohani, seperti yang tergambar dalam pepatah kita, \u201cHidup bersendikan adat, adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah\u201d. Wallahualam.\n_________________________\nBeli Hikayat Hang Tuah." "Wabak dalam Dunia Sastera Barat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSempena pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh yang sedang berlangsung, Zulkifli Salleh membawa kita kembali pada era purba Barat dan deretan karya yang mencatat dan menghidupkan realiti gerun wabak penyakit dan impaknya terhadap manusiawi.\nPada zaman-zaman itu, apabila wabak merebak, tiada ubat yang dapat membantu, dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menghentikannya daripada menyerang.\nKepurbaan atau lamanya kewujudan wabak dapat dikesan dalam karya sastera. Bukti yang tertua terdapat dalam The Iliad Homer (sekitar 701 hingga 900 Sebelum Masihi/SM). Dalam Buku Satu The Iliad, diriwayatkan bahawa wabak telah memusnahkan segerombolan askar Yunani di Troy kerana kemurkaan Dewa Apollo. Anak perempuan salah seorang pendetanya telah dicolek sebagai tebusan perang oleh pemimpin tentera Yunani, iaitu Agamemnon. Apabila bapa gadis itu datang ke kem askar Yunani untuk menebusnya, Agamemnon bukan sahaja enggan melepaskan anak perempuan itu, tetapi secara terbuka turut mengaibkan pendeta Apollo itu. Pendeta itu memohon hukuman daripada Apollo yang menunaikan permohonan itu dengan menurunkan wabak.\nDalam The Iliad, wabak datang secara langsung daripada Dewa Apollo, yang menimpai orang Yunani sebagai hukuman Tuhan. \u201cDewa Apollo menurunkan kesengsaraan kepada orang Yunani dengan wabak kerana mereka enggan patuh kepada paderinya,\u201d tulis Frank M. Snowden dalam bukunya, Epidemics and Society: From the Black Death to the Present. Wabak diatasi bukannya oleh sains atau penjarakan sosial, tetapi oleh pengorbanan dan beberapa amalan kebersihan yang lebih baik. Wabak lain yang muncul dalam The Iliad turut berlaku ketika kepungan terakhir Troy. Penyakit itu bermula dengan jangkatan antara haiwan, iaitu keldai dan anjing, kemudian ia merebak kepada para pahlawan Yunani.\nSelain The Iliad, tragedi Sang Raja Oedipus atau Oedipus Rex nukilan Sophocles dan The History of the Peloponnesian War karya Thucydides turut mengimbau kejahatan wabak terhadap manusia pada era purba dahulu. Sophocles (496\u2013406 SM) dilahirkan di Colonus, berdekatan Athens, merupakan salah seorang daripada tiga pengarang drama tragedi teragung era Yunani purba (dua lagi ialah Aeschylus dan Euripides). Karya tragedi yang paling terkenal nukilan beliau ialah Sang Raja Oedipus. Drama ini bermula dengan kota Thebes diserang oleh wabak dan warganya merayu kepada Raja Oedipus untuk mencari ubat. Baginda mendapatkan nasihat nujum Delphi, yang mengisytiharkan bahawa wabak akan reda hanya apabila pembunuh suami pertama Jocasta, Raja Laius, ditemui dan dihukum. Oedipus memutuskan untuk mencari pembunuh Laius.\nThucydides, sejarawan agung Yunani klasik ini pula dilahirkan pada tahun 460 SM (atau beberapa tahun lebih awal). Beliau merupakan generasi yang lebih muda daripada sejarawan Yunani terkenal, Herodotus. Beliau menunjukkan bahawa gempa bumi, kemarau, kebuluran, dan juga pestilens yang menjangkiti orang ramai turut menyebabkan kemusnahan pada zaman beliau. Dalam hal ini, wabak penyakit dianggap sebagai suatu bencana besar, dan fenomenanya disebut-sebut dan dipercayai.\nDalam karya sejarah purba Thucydides itu, terkandung kisah Wabak Athens (Plague of Athens) yang merupakan epidemik yang amat menggerunkan, menyerang kota itu pada tahun 430 SM. Wabak itu muncul semula pada tahun 425 SM. Wabak Athens dipercayai berasal dari Etiopia (Afrika), dan kemudian merebak ke seluruh persisiran Mediterranean. Namun begitu, peristiwa ini tidak dapat memastikan setakat mana wabak itu mungkin menyumbang kepada kemenangan mutlak orang Sparta terhadap orang Athens dalam Perang Peloponesia atau menyumbang kepada kemerosotan empayar Athens akhirnya.\nThucydides menunjukkan pemerhatian langsungnya tentang penyakit yang melanda Athens, dan dengan itu, beliau merupakan penyumbang sumber maklumat utama tentang wabak dalam sejarah purba Barat. Beliau merujuk pestilens sebagai wabak, tetapi penamaan ini digunakan pada zaman purba untuk mana-mana kerebakan penyakit yang berlaku secara meluas. Ramai sarjana tidak mempercayai kemungkinan bahawa peristiwa ini merupakan hawar bubonik kerana Thucydides tidak pernah menyebut tentang ketumbuhan yang kelihatan di lipatan peha (groin), ketiak dan di keliling telinga, simptom yang standard dalam hawar bubonik kerana penyakit ini menyerang sistem limfa dan menghasilkan bengkak sebegitu rupa.\nMalah, sebelum dogma kepercayaan Kristian tersebar di serata Eropah, hubungan sebab-musabab antara wabak dengan dosa manusia sudah wujud dalam teks sastera Yunani pada era purba bersama-sama dengan kitab agama, seperti yang dinyatakan dalam The Iliad dan Oedipus. Namun begitu, The History of the Peloponnesian War Thucydides dan puisi didaktik Latin De rerum natura oleh penyair Lucretius (kira-kira 99\u201355 SM) menolak perhubungan \u201cbencana\u201d penyakit dengan perlakuan dosa manusia dan memberikan tumpuan perihalan mereka terhadap ketakutan massa yang tidak boleh dikawal apabila berlakunya penularan wabak yang berleluasa. Menurut kedua-dua pengarang purba ini, wabak tidak mendiskriminasikan antara baik dengan jahat, tetapi menimbulkan kehilangan dalam semua konvensyen sosial, sambil meningkatkan sikap mementingkan diri masyarakat awam dan keserakahan.\nMeskipun diterbitkan lebih seabad lalu, terasa The Scarlet Plague seperti sezaman kerana novel ini membolehkan pembaca moden untuk membayangkan\u00a0 ketakutan di seluruh dunia tentang pandemik, malah ketakutannya masih tekal dirasai.\nPada Zaman Pertengahan akhir, karya seperti The Decameron oleh Giovanni Boccaccio (1313\u20131375) dan The Canterbury Tales oleh Geoffrey Chaucer (1343\u20131400) pula menekankan nirnilai murni manusia dan kaitannya dengan penurunan wabak: rasa ketakutan terhadap penularan wabak yang berlaku atas peningkatan maksiat dalam kalangan manusia, seperti keserakahan, ketamakan dan rasuah. Bagi mereka, maksiat membawa kepada jangkitan, dan dengan itu, membawa bencana kepada kedua-duanya, iaitu kematian moral dan fizikal. Reaksi manusia terhadap wabak juga merupakan tema utama sastera sejarah A Journal of the Plague Year oleh pengarang Inggeris Daniel Defoe (1659\u20131731). A Journal of the Plague Year ialah sebuah naratif panjang dan terperinci tentang peristiwa, anekdot dan statistik yang berhubung dengan Wabak Besar London pada tahun 1665.\nLama sebelum kemunculan novel The Plague Albert Camus, Jack London (1876\u20131916) menerbitkan novel pascaapokalips The Scarlet Plague (1915), yang berlangsung pada tahun 2073. Jack London ialah penulis dan wartawan Amerika Syarikat dan pengarang novel klasik, termasuk The Call of the Wild (1903) dan White Fang (1906). Dalam bab tiga novel itu, seorang lelaki tua memberitahu bahawa \u201cpada musim panas tahun 2013, wabak datang. Saya ketika itu berusia 27 tahun, dan saya masih ingat dengan baik.\u201d Lelaki tua ialah James Howard Smith atau \u201cGranser\u201d, salah seorang daripada segelintir orang yang terselamat daripada serangan wabak tahun 2013. Dia memberitahu cucu lelakinya yang seolah-olah tidak percaya bagaimana pandemik merebak di dunia dan reaksi orang ramai terhadap penularan kematian. James menceritakan asal usul wabak yang dipanggil sebagai Maut Merah kepada cucunya, iaitu 60 tahun sebelumnya. Epidemik yang tidak dapat dikawal itu telah mengurangkan hampir separuh penduduk dunia dan hampir memusnahkan kehidupan dunia pada tahun 2013.\nNovel Jack London ini mendapat perhatian Michele Augusto Riva, Marta Benedetti, dan Giancarlo Cesana, apabila mereka menulis \u201cPandemic Fear and Literature: Observations from Jack London\u2019s The Scarlet Plague\u201d dalam Emerging Infectious Diseases pada tahun 2014, beberapa tahun sebelum meletusnya pandemik COVID-19. \u201cMeskipun diterbitkan lebih seabad lalu, terasa The Scarlet Plague seperti sezaman kerana novel ini membolehkan pembaca moden untuk membayangkan\u00a0 ketakutan di seluruh dunia tentang pandemik, malah ketakutannya masih tekal dirasai.\u201d\nDengan meneroka motif wabak, topos (tema tradisi atau formula dalam sastera) dalam novel London ini merupakan sebahagian daripada tradisi sastera Barat yang panjang, yang menjemput para pembaca untuk membayangkan ketakutan manusia zaman-berzaman terhadap penyakit berjangkit. Pada era purba, wabak dan pestilens merupakan bencana yang agak kerap, dan orang biasa berkemungkinan menyaksikan atau mendengar laporan yang jelas dan menakutkan tentang kepunahan teruk mereka dek bencana ini. Pada zaman-zaman itu, apabila wabak merebak, tiada ubat yang dapat membantu, dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menghentikannya daripada menyerang; satu-satunya cara untuk menyelamatkan diri adalah dengan mengelakkan kontak dengan orang yang dijangkiti dan objek yang dicemari. Ketakutan yang amat sangat ini juga dirangsang oleh kepercayaan dalam asal usul kuasa ghaib (supernatural) pandemik, yang sering dipercayai dibangkitkan oleh salah laku terhadap Tuhan.\nDalam novel Jack London, pada permulaan epidemik Maut Marak (Scarlet Death), orang ramai kelihatan tidak berasa cemas kerana mereka \u201cpasti bahawa ahli bakterialogi akan menemui cara untuk mengatasi kuman baharu ini, sebagaimana mereka mengatasi kuman lain pada masa lalu.\u201d London menjelaskan, kepercayaan orang awam terhadap sains adalah tinggi dalam masyarakat pada abad ke-21. Walau bagaimanapun, orang ramai tidak lama kemudian ditakutkan oleh kepantasan yang sangat memelikkan apabila \u201ckuman baharu\u201d itu memusnahkan populasi manusia dengan meluas. Sememangnya, kuman itu membunuh tubuh manusia yang dimasukinya serta-merta. Orang akan mati dalam tempoh sejam. Sesetengahnya bertahan untuk beberapa jam. Malah, banyak orang mati dalam masa 10 atau 15 minit apabila munculnya \u201ctanda pertama\u201d penyakit itu. Menerusi perincian sebab-akibat penyakit, London menjadikan penularan wabak dalam novel ini lebih realistik, bahkan sangat mengerikan.\nDalam The Scarlet Plague, London menyiasat banyak isu topos kesusasteraan tentang wabak. Hal ini merangkumi cerminan tentang isu moral dan keadilan terhadap kesan penularan dan ciri-ciri klinikal tentang penyakit. Secara khusus, pengarang menumpukan perhatiannya pada respons kelakuan terhadap pandemik, menunjukkan kemunculan rasa takut, sikap hilang pertimbangan diri, dan sikap mementingkan diri dalam masyarakat yang sebelum ini dianggap berbudaya dan moden. Novel ini sangat berbeza daripada karya awal di Barat yang berkait dengan wabak kerana mencerminkan secara mendalam penemuan saintifik sezaman tentang patogen yang dikaji oleh ahli sains, seperti Louis Pasteur (1822\u20131895) dan Robert Koch (1843\u20131910). Pada awal abad ke-20, epidemik tidak lagi dianggap sebagai hukuman Tuhan atau peristiwa kuasa ghaib. Pada abad ke-19, ahli bakteria sudah menunjukkan penularan epidemik berlaku disebabkan oleh \u201ckuman\u201d yang menjangkiti manusia, dan ahli epidemiologi dan pakar kesihatan awal mula menampilkan fakta mekanisme penyakit berpindah tubuh, termasuk cadangan langkah pencegahan umum untuk mengehadkan pandemik. Walau bagaimanapun, sebalik kemajuan saintifik ini pada masa Jack London, ketakutan orang awam terhadap dunia serba seni mikroorganisma masih tinggi.\nKisah wabak dalam karya sastera kontemporari Barat turut mendapat perhatian para penulis sebaik-baik sahaja pandemik COVID-19 melanda dunia. Dalam sebuah artikel The New Yorker, Jill Lepore memberikan rangkuman yang luas tentang wabak dalam karya sastera, iaitu sejak zaman purba (seperti yang terkandung dalam Sang Raja Oedipus) sehinggalah Wabak Besar London pada tahun 1665 dalam karya Daniel Defoe, A Journal of the Plague Year. Bagi Lepore, \u201csastera penularan amat menggerunkan. Wabak berlangsung seperti lobotomi\u201d. Beliau kemudiannya mengulas wabak dalam novel The Last Man (1826) Mary Shelley, cerpen \u201cThe Masque of the Red Death\u201d Edgar Allan Poe, novel The Scarlet Plague Jack London, The Plague Albert Camus, dan Blindness (1995) Jose Saramago.\nKadang kala, orang ramai beralih kepada novel untuk memberikan makna pada dunia sekitar mereka, dan ada kalanya untuk melarikan diri daripada realiti itu. Namun begitu, dalam masa yang sukar (seperti sekarang), orang ramai selalunya meminta novel untuk melakukan kedua-duanya serentak: memberikan makna pada dunia mereka, sekali gus melarikan diri daripadanya. Melambungnya jualan buku tentang penyebaran virus korona di serata global mencerminkan, sekurang-kurangnya sebahagian daripada dua keinginan itu dipenuhi. Ketika semua buku baharu dibeli dan dibaca, fiksyen menyaksikan kenaikan jualan yang sangat besar, malah sesetengah genre mendapat jualan laris yang jauh lebih tinggi daripada yang lain. Lebih-lebih lagi genre fiksyen yang berkait rapat dengan detik kini \u2013 kisah epidemik, malapetaka dan dunia yang hampir kiamat. Sebuah buku menjadi terkenal dengan sendirinya kerana menghidupkan cahaya pandemik.\n\u201cDaripada Iliad Homer dan Decameron Boccaccio kepada The Stand Stephen King dan Severance Ling Ma, cerita tentang pandemik yang berlaku sepanjang sejarah kesusasteraan Barat menawarkan banyak katarsis, cara kita memproses emosi yang kuat, dan komentar politik tentang cara manusia bertindak terhadap krisis kesihatan awam. Sastera mempunyai peranan penting untuk dimainkan dalam membingkaikan respons kita terhadap pandemik COVID-19,\u201d tegas Chelsea Haith dalam makalahnya, \u201cPandemics from Homer to Stephen King: What We Can Learn from Literary History\u201d.\nHaith yang membincangkan beberapa sastera moden dan kontemporari tentang wabak telah merujuk karya abad ke-20, iaitu novel The Plague Albert Camus dan novel seram The Stand Stephen King. Kedua-dua novel ini membawa perhatian pembaca pada implikasi sosial wabak (pandemik), terutamanya isu pengasingan dan kegagalan negara, sama ada dalam usaha membendung penularan penyakit ataupun meredakan panik awam yang bertambah buruk. Awas, realiti dan imaginasi sudah mula bercelaru dan memasuki akal sedar kita sekarang! Kegusaran hati pengarang era dahulu dan semasa sudah mula menjadi kegusaran hati kita tentang kehidupan sekarang dan masa hadapan.\n_________________________\nZulkifli Salleh ialah mantan Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selain pernah menjawat tugas sebagai Ketua Bahagian Ensiklopedia, Ketua Editor Buku Sastera dan Ketua Editor Majalah di DBP. Antara hasil karyanya termasuk Idea-idea Besar Ekonomi Politik Dunia (DBP, 2019) dan Krisis Tidak Berhujung (DBP, 2018)." "Gaza Menjadi Guru Kita\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGaza menjadi guru kita\nia mengajar banyak makna\nmakna tawakal kepada ALLAH Yang Esa\nmakna jiwa manusia yang merdeka\nmakna derita dan air mata\nmakna darah dan nyawa\nmakna untuk tegak membela agama\nmakna untuk tidak pernah putus asa\nmakna cekal yang tiada hujungnya.\nGaza menjadi guru yang berbekas\nhidup jangan sekali pernah tewas\nsekalipun tanah dan rumah telah dirampas\nnyawa keluarga, jiran dan teman dicantas\nnamun, dengan akidah yang ikhlas\nbangun dengan tabah, cergas dan tangkas\ntugas terus digalas, pencerobohan dibalas\nbumi warisan dipertahan teguh, dibela tegas.\nGaza menjadi guru bererti\nmengajar tentang maruah diri\nbangkit menghadapi derita sendiri\ndengan keimanan kepada syurgawi\npasak kudrat terus berdiri\nseruan takbir buat seluruh generasi\nterus di sini, mempertahan apa yang baki\nmerebut kembali apa yang dirampas curi\nbukan hanya menangis meminta simpati\ndari yang hanya menyaksi, tanpa merasai.\nGaza menjadi guru terbilang\nmengajar berjuang, menentang petualang\njangan biar dirimu dicincang\nhiduplah sebagai seorang pejuang\nselagi roh berumah di badan\nberperanglah dengan jelmaan syaitan\najarlah keturunan untuk terus bertahan\nmatilah dengan penuh kemuliaan.\nGaza menjadi guru murabbi\nmengenali hati budi manusiawi\ndi kala dirimu dipagari dan dimusuhi\ndi saat dunia sekeliling melarikan diri\nsiapakah teman yang tetap berdiri di sisi?\nsiapakah saudara yang teguh membentengi?\nsiapakah tetangga yang terus menghulur budi?\nsiapakah yang raga dan harta turut diberi?\nketika itu, saudara seiman akan kau kenali,\nmunafik muncul dengan wajah warna-warni\npara harbi semua bersatu hati, kau diperangi\nmaka fahamilah diri; siapakah itu Yahudi!\nGaza akan menjadi bukti di Mahsyar nanti\napakah kita tegak membela yang dizalimi\natau tanpa aksi, hanya diam menyaksi?" "Apabila Kajian Akademik Lambat Diterbitkan, Buku Dilihat Ketinggalan Zaman\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Isu perbandingan antara novel popular dengan novel sastera sudah lama berlalu. Malah, tembok definisi itu sudah lama diruntuhkan apabila banyak naskhah novel yang dikatakan sebagai naskhah popular itu membawa muatan sastera yang sangat baik.\nBanyak novel terbitan penerbitan bebas dan kecil seperti Jemari Seni, Fixi dan PTS yang berkualiti, malah ada yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia, misalnya Sepetang di Kafe Biblioholic oleh Ainunl Muaiyanah Sulaiman pada tahun 2014.\nLalu, apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membawakan siri diskusi buku yang mengangkat kajian 10 tahun lalu (tetapi baru diterbitkan tahun lalu), bukankah hal ini memperlihatkan DBP sedikit ketinggalan zaman?\nHal ini yang boleh dirumuskan dalam Siri Diskusi Buku DBP-UM bersama-sama Prof. Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman dan Che Abdullah Che Ya selaku pembicara, serta Mohd Shoffi Sukamin selaku moderator menerusi acara dalam talian yang disiarkan dalam laman Facebook DBP.\nNaskhah itu, buku Sastera Popular: Antara Komersialisme dengan Intelektualisme yang diulas oleh Che Abdullah ialah kajian yang dibuat pada tahun 2006 dan 2009 yang agak kurang relevan dalam keadaan terbitan novel-novel sekarang.\nHal ini juga disebut oleh Che Abdullah dalam perkongsiannya apabila menegaskan DBP seharusnya memastikan penerbitan naskhah kajian tidak terlalu jauh dengan waktu penulisan supaya bahan yang dihasilkan tidak ketinggalan.\n\u201cDalam isu sastera popular misalnya, kebanyakan naskhah terbitan yang dikaji sudah lama, dan ada banyak perkembangan terbaharu mengenai sastera popular. Memandangkan kajian yang\u00a0 dilakukan sudah lebih 10 tahun, saya berharap kajian mengenai sastera popular harus diteruskan kerana kajian sebegini turut memainkan peranan besar dalam jalur perkembangan sastera tanah air,\u201d katanya.\nPandangan Che Abdullah sangat jelas apatah lagi bersandarkan perkongsian beliau, pengkaji sastera gagal memahami apakah itu sastera popular.\nHal ini disebabkan kerana pengkaji masih sukar memberikan definisi yang tepat tentang apakah itu sastera popular kerana terdapat pertindihan ciri antara sastera popular dengan sastera serius.\nSecara umum, sastera popular itu didefinisikan seperti berikut: karyanya dibaca ramai, dibaca untuk hiburan, bersifat komersial dan rendah nilai estetikanya.\nNamun begitu, adakah hal ini bermaksud naskhah sastera serius pula tidak dibaca ramai, tidak dibaca secara santai dan langsung tiada sifat komersial tetapi hanya bersandarkan kepada nilai estetika yang tinggi?\nJika masih begitu definisinya, maka sangat sukar naskhah sastera serius meraih hati pembaca.\nSukar untuk menjawab soalan begini disebabkan tidak banyak kajian mengenai novel sastera popular yang dibuat. Justeru, walaupun buku terbitan DBP ini agak ketinggalan zaman, buku kajian ini merupakan hasil rujukan yang masih perlu diberikan perhatian bagi\u00a0 memperbetulkan tanggapan negatif terhadap sastera popular kerana sebalik kelemahannya, karya sastera popular turut bercakap tentang moral pendidikan dan pegangan agama yang baik secara langsung mahupun tidak langsung.\nSementara itu, Dr. Norhayati ketika mengupas mengenai Hikayat Perempuan tulisan Amelia Hashim yang diterbitkan oleh DBP pada April 2021 menjelaskan mengenai kekuatan pengarang wanita dari Kedah itu untuk mengangkat dan bercakap mengenai perempuan.\n\u201cNaskhah dengan 15 watak ini memberi suara, jiwa dan raga kepada watak-watak wanitanya yang selama ini dibisukan. Ia membolehkan wanita yang dirakam dalam naskhah klasik seperti Sulalatus Salatin diberikan jiwa dan menjawab segala ketidakadilan yang disenyapkan,\u201d katanya.\nBuku Sastera Popular: Antara Komersialisme dengan Intelektualisme boleh dibeli di sini dan karya kreatif terbaharu Amelia Hashim, Hikayat Perempuan boleh dibeli di sini." "Pembacaan dan Penerbitan Musim Pandemik: Suatu Penggulatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIndustri buku seluruh dunia mengambil langkah merendahkan volum penerbitan akibat terjejas dengan pandemik COVID-19. Kemerosotan penerbitan buku secara fizikal meningkat sebanyak 90 peratus apabila buku-buku hanya diterbitkan sebanyak dua naskhah sebulan berbanding dengan sebelumnya sebanyak 20 naskhah sebulan. Hal ini bukan sahaja menjejaskan dunia perbukuan dan penerbitan, bahkan pekerja dalam industri penerbitan juga turut terjejas. Pandangan yang dilontarkan oleh Sri Diah Shaharuddin ini mengambil sudut pandang sebagai seorang penulis buku dan editor yang giat membimbing penulis dalam universiti penulisan secara maya.\nManakala Nisah Haron, seorang penulis dan aktivis sastera pula berpendapat, pandemik ialah musim yang menuntut survival daripada penulis kerana masa ini bukanlah masa yang paling optimum untuk menerbitkan banyak buku, bahkan inilah masa yang sesuai untuk penulis mewajarkan situasi dengan menetapkan kandungan penulisan. Meskipun prolifik merupakan penanda aras kepada penulisan melalui penerbitan yang giat, namun kualitinya juga perlu dinilai kembali.\nDemikian lontaran pendapat dua panel Forum Cinta Buku \u201cPembacaan Sepanjang Hayat: Adaptasi dalam Norma Baharu\u201d anjuran Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah pada 2 Jun lalu. Moderatornya, Tuan Syed Munawwar Sayed Mustar, Ketua Pegawai Eksekutif Dialektika begitu bijak memprovokasi dan menjambatani isu-isu yang berlegar seputar dunia penulisan, penerbitan dan pembacaan.\nMuhamad Hanan Mohd Haniff, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USIM selaku panel ketiga pula berpendapat, meskipun rata-rata anak muda suka membaca secara dalam talian, namun pandemik yang sedang melanda telah membantutkan aktiviti mereka untuk memenuhi hasrat merantau untuk mendapatkan bahan bacaan dan ilmu penulisan secara fizikal.\nForum ini begitu rancak dan membuka pelbagai pintu tema pembacaan. Mereka berbincang tentang banyaknya aktiviti perbukuan tidak dapat dijalankan seperti Kota Buku, bengkel-bengkel penulisan dan penutupan perpustakaan fizikal. Hal ini telah melunturkan komitmen khalayak pembaca terhadap buku. Pembacaan secara dalam talian dilihat sebagai sesuatu yang berhalangan kerana hakikatnya, pembaca terikat dengan banyak komitmen di rumah, dan semestinya mata tidak dapat bekerja 24 jam dengan menatap gajet semata-mata. Oleh itu, Sri Diah menggesa supaya penerbit jangan terlalu lama dan selesa berada dalam situasi sekarang yang diibaratkan seperti \u201cdiam-diam rindu\u201d. Justeru, swaterbit merupakan langkah yang paling berkesan untuk memastikan hayat dunia penerbitan dapat menyusur arus dengan cara yang tersendiri, dan juga mengikut disiplin penerbitan yang betul.\nNisah turut bersetuju dengan pendapat Sri Diah, bahkan menegaskan, setiap pertemuan dalam aktiviti perbukuan dan penulisan memberikan semacam input dan pemugar semangat kepada penulis untuk berkarya. Maka, halangan terbesar dalam musim pandemik bagi seorang penulis ialah \u201crintangan pengarang\u201d (writer\u2019s block), iaitu saat penulis mempunyai banyak idea tetapi tidak dapat memanifestasikannya menjadi sebuah karya. Interaksi di atas skrin tidak mencukupi kerana tidak berlaku pertukaran tenaga secara fizikal. Lantaran itu, kualiti penulisan merudum dan dunia penerbitan menjadi suram.\nJalur teknologi ialah citra baharu pembacaan generasi muda dekad ini. Tetapi aktiviti mengumpul buku secara fizikal tetap menjadi pilihan, meskipun dilihat sebagai penyakit tsundoku (seni menghimpun buku tanpa membacanya). Aktiviti ini jauh lebih baik daripada minat muda-mudi yang lebih leka dengan aplikasi media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram, yang boleh mempengaruhi jati diri anak muda.\nProvokasi demi provokasi yang diutarakan oleh Tuan Sayed Munawwar akhirnya menemukan satu solusi yang membawa kepada perbincangan yang lebih hangat apabila Nisah Haron berpendapat bahawa penerbit buku perlu bersedia berpindah medium daripada penerbitan fizikal kepada digital. Hal ini menjadi suatu desakan yang pragmatik kerana generasi muda yang dipanggil sebagai \u201cwarga natif digital\u201d (digital natives) kini sangat asyik membaca secara dalam talian. Buku audio dan e-buku ialah platform yang paling praktikal bagi menangani isu pembacaan era baharu. Kaedah bahan bacaan tidak menjadi persoalan apabila semua panel bersepakat bahawa setiap individu harus berfikiran terbuka untuk menolak dan menapis bahan bacaan yang dirasakan tidak sahih atau tidak elok.\nIkuti rakaman acara forum ini di sini." "Kenduri Buku Bersempena dengan DMK 2022 Peringkat Negeri Perak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLenggong \u2013 Kenduri Buku Bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2022 Peringkat Negeri Perak telah diadakan secara bersemuka pada 13-14 Oktober 2022. Program ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dengan kerjasama Wakaf Che Teh Fatimah (WCTF), Lenggong, Perak. Sebanyak\u00a0260 orang peserta telah mengambil bahagian dalam aktiviti sepanjang program dua hari ini, yang terdiri daripada pelajar MRSM Lenggong, Kolej Komuniti Lenggong, Sekolah Tahfiz Lenggong, SK Bukit Balai, SJKC Yeong Hwa dan SJKT Ladang Kota Lima. Selain itu, aktiviti dalam Kenduri Buku tersebut turut disertai masyarakat setempat yang terdiri daripada pelbagai kaum.\nPenyair yang tidak asing lagi, Cikgu Awang Abdullah turut diundang bagi memeriahkan program dengan beliau diberi tanggungjawab mengendalikan bengkel penulisan dan deklamasi puisi untuk 22 orang peserta.\nBeberapa pengisian lain juga berlangsung serentak dengan bengkel tersebut. Antaranya termasuklah Pertandingan Mewarnai Lukisan Bertemakan Buku Kategori enam tahun hingga 10 tahun, Pertandingan Mewarnai Lukisan Bertemakan Buku Kategori 11 tahun hingga 13 tahun, Pertandingan Membaca Berita daripada Teks Buku, Pertandingan Menulis Warkah Berkenaan Buku, Pertandingan Mencipta Sajak Mengenai Buku dan Pertandingan Menulis Ringkasan Buku.\nPelbagai pertandingan ini diadakan untuk mencungkil bakat terpendam dalam diri peserta, selain turut dimeriahkan dengan pameran dan demonstrasi kuih warisan seperti pek nga dan nasi ganja. Pameran tersebut memberikan ruang kepada peserta dan pengunjung untuk mengenali kuih warisan.\nSelain bengkel, pertandingan dan pameran yang berkaitan dengan buku, perasmian Rumah Buku WCTF juga telah dilaksanakan. Perasmian Rumah Buku WCTF tersebut disempurnakan oleh Encik Rahimi Arifin, Pengarah DBPWU dalam suasana hujan lebat yang menyimbah bumi Lenggong.\nNyaman hujan pada petang yang menyejukkan bumi Lenggong itu turut memberikan keselesaan kepada Malam Gema Puisi Kenduri Buku yang disertai oleh pelajar Pusat Tahfiz, pelajar MRSM dan masyarakat setempat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan peringkat usia.\nPada Malam Gema Puisi Kenduri Buku itu, para peserta bengkel turut membuat persembahan yang dikendalikan oleh Cikgu Awang Abdullah dan Puan Rhumie Arniza Mat Esa. Persembahan pada malam itu juga diakhiri dengan persembahan \u201cpuiter\u201c (puisi dan teater) oleh Cikgu Awang Abdullah dan Puan Rhumie Arniza Mat Esa, serta deklamasi puisi oleh penulis, E Pian Pro Poul.\nSementara itu, pada hari kedua pula, berlangsungnya pertandingan dan majlis penyampaian hadiah bagi Pertandingan Swafoto Buku, Pertandingan Reka Cipta Kulit Buku, Pertandingan Menggubah Objek Menggunakan Kain Sejadah dan Pertandingan Teka Jumlah Buku yang Berada di Dalam Kotak.\nSecara keseluruhannya, program Kenduri Buku ini dapat menanam minat para hadirin yang bukan sahaja terdiri daripada kelompok bahasa dan sastera terhadap bahasa dan sastera kebangsaan, sekali gus dapat mengeratkan perpaduan kaum kerana aktiviti ini melibatkan masyarakat pelbagai kaum daripada pelbagai peringkat umur. Oleh itu, usaha seumpama ini perlu diteruskan pada masa hadapan." "Malam Suara Cinta Komuniti Menulis Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Majlis bacaan tahlil dan doa selamat, berserta lantunan suara yang mengangkat isu keprihatinan dan pandemik COVID-19 serta kemanusiaan di Palestin telah dianjurkan oleh Komuniti Menulis Malaysia \u2013 Malam Suara Cinta. Majlis disiarkan secara langsung pada pukul 9.00 \u2013 11.00 malam melalui Facebook Komuniti Menulis Malaysia. Malam Suara Cinta menampilkan dua tokoh figura negara, iaitu Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan Profesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Hashim Yaacob.\nPenasihat dan Pengarah Urusan Komuniti Menulis Malaysia, Wacana Minda dalam ucapannya menyatakan, \u201cKita tidak selalu memiliki kata tetapi puisi sering sahaja memiliki makna. Puisi sering kali jadi kata-kata sakti menyingkirkan angkara menyayat hati. Mari sejenak kita melontar suara melahirkan isi hati terhadap isu kemanusiaan sejagat di Palestin dan pandemik yang tiada kesudahannya. Biar kata-kata berkepak jadi doa merentasi samudera dan benua. Puisi sememangnya cermin diri, ditulis dan disuarakan untuk kita saling mengingati dengan penuh nyali cinta.\u201d\nPenampilan istimewa dalam majlis tersebut, Zaini Ujang menyatakan, \u201cMeskipun kita tidak berada di tanah Palestin, kita bersama-sama melahirkan rasa prihatin dan empati terhadap penderitaan dan perjuangan saudara kita. Begitu juga dengan episod pandemik yang masih belum berakhir.\u201d Selesai memberikan ucapan, beliau mendeklamasikan sebuah puisi yang bertajuk \u201cSelepas Episod Ini\u201d.\nHashim Yaacob merakamkan ucapannya, \u201cPuisi mampu lahirkan apa sahaja. Jika kita tidak mempunyai apa-apa, kita masih mempunyai suara. Kalau kita dicerca dengan kata, jangan kita diam tak terkata. Pertahankanlah maruah kita, lawan kata dengan kata. Kalau mereka mengherdik dengan kata, carilah daya kata. Kalah kita jangan kerana putus kata. Ini martabat bangsa dan kedaulatan negara.\u201d Beliau turut mendeklamasikan puisinya yang bertajuk \u201cKau Berpulang Anakku\u201d sebagai keprihatinan terhadap Palestin.\nMajlis malam ini turut diserikan dengan dendangan puisi daripada peserta-peserta jemputan. Antara yang menyumbangkan suara dalam majlis ini, termasuklah Wacana Minda (\u201cExodus Palestina\u201c), Nor Adlyizan Theis (\u201cPantun Suara Cinta COVID-19\u201c dan \u201cUntukmu Palestin\u201c), Wan Mohd Akmal Wan Mansor (lagu Together We Can Change The World), Akilul Nazar Arbain (\u201cBangkit Palestin\u201c), Raja Nurul Farhana Raja Muhammad Putra (\u201cApabila Sampai Masa Nanti\u201c karya Ku Sunira Ku Johari), Rozilah Ibrahim atau R\u2019zie Ibrahi) (\u201cKembalikan Kota Keamanan \u201c karya Ku Sunira Ku Johari), Profesor Madya Dr. Nor Hasimah Ismail (\u201cThaurah Palestin\u201c), Shahrul Nizam Mohd Aman (\u201cMencari Pelangi di Bumi Gaza\u201c karya Datu Ramlee), Zulkifli Zainudin (\u201cPantun Kita Jaga Kita\u201c), Yusnorsyazana Mohd Yunos (\u201cSyair Perpaduan\u201c karya Roslan Madun), Nazim Mohd Subari (\u201cNazam Selamatkan Palestin\u201c), Romaini Mustafa (syair \u201cJanji yang Disimbah Asid Dusta\u201c), Norliza Salim (\u201cSyair Koronavirus\u201c), Dr. Dil Froz (\u201cAnak-Anak Palestin\u201c), Abdul Hamid Abdul Halim (lagu puisi XPDC Hujan Air Mata), Harlym Yeo (\u201cMendukung Perjuangan Bersama-sama\u201c karya Awang Sariyan), Hairul Azuan Ahdan (\u201cMereka Sama Sahaja\u201c), Amalyaazani Mohd Jehwan (\u201cTanah Palestin\u201c), Abd Malik Mohamad Shah (\u201cDoa Buat Palestin\u201c), Fauziah Moksin (\u201cPantun Untukmu Palestin\u201c dan \u201cPantun PKP\u201c), Nur Aqila Awatif Mohd Rashid (\u201cTeater Miskin\u201c karya Ku Sunira Ku Johari), Muhammad Arifuddin Syahril (\u201cArep Jawa\u201c dan \u201cBerita kepada Kawan\u201c karya Ebiet G Adi), Mohammad Hilmi Ismail (\u201cMohilis\u201c dan \u201cSuara dari Bumi Gaza\u201c), Rohaidah Yon (\u201cDoaku Ada di Mana-mana\u201c), dan Nuratul Salamah Tee Abdullah (\u201cInspirasi Untukmu Gaza\u201c)." "Mengapa Drama Radio Tersisih?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRaja Yusoff Ariffin menyoal, mengapakah drama radio yang jauh lebih lama diperkenalkan di negara kita masih lagi tidak mendapat tempat sebagai sebuah karya sastera yang boleh dikaji dan diapresiasikan?\nJika filem yang dianggap asing pun sudah ada segelintir sasterawan yang menerimanya sebagai karya sastera, apatah lagi drama radio yang datang daripada kelompok drama?\nWalaupun dipersembahkan secara audio, drama radio yang terhasil daripada skrip merupakan antara karya sastera yang telah lama bertapak di negara kita. Namun demikian, mengapakah drama radio kurang atau tidak mendapat perhatian, termasuk daripada pengkritik sastera?\nSejak sekian lama, stesen radio di Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menyediakan slot drama. Antara drama radio rantaian yang terkenal pada era 70-an dan 80-an ialah Fajar di Bumi Permata dan Nombor 5, Persiaran 1.\nSetakat ini, slot drama radio rantaian yang masih ada ialah Panggung Drama di Klasik FM pada setiap hari Ahad, jam 12.00 tengah hari. Meskipun hanya berdurasi 30 minit (berbanding daripada 60 minit sebelum ini), slot ini tetap usaha yang penting dan baik untuk meneruskan hayat drama radio di negara kita.\nMemang drama radio hanya dapat dinikmati dengan cara mendengarnya sahaja. Adakah kerana itu menyebabkan drama radio tidak dianggap sebagai karya sastera?\nBagi penulis, jika drama radio tersebut turut mengutarakan soal nilai kemanusiaan, keindahan seni bahasa, dialog, lakonan suara, dan unsur-unsur drama \u2013 walaupun hanya dipersembah menerusi pengucapan pelakon, atau percakapan antara watak di samping kesan bunyi yang berkaitan, drama radio tetap boleh dianggap sebagai karya sastera (sebagaimana drama televisyen dan teater).\nPerkara-perkara tersebut membuatkan drama radio berbeza daripada drama televisyen dan teater. Kita mendengar dan melihat pergerakan, sekali gus mendengar suara pelakon dan perhiasan berkaitan semasa menonton drama televisyen dan teater, walaupun antara drama televisyen dengan teater sendiri ada perbezaan tertentu.\nJanganlah kekurangan dan perbezaan antara drama radio dengan drama televisyen menjadi penyebab untuk menyisihkan, atau menganggap drama radio bukan karya sastera. Diharapkan juga hal itu bukan sama sekali menjadi punca drama radio tersisih.\nTidak lengkap dan tidak wajar meletakkan sebuah hasil sastera, apatah lagi yang bermutu untuk siaran media elektronik jika drama radio ditolak. Perkembangan kesusasteraan kita akan kerugian jika sesetengah karya drama diketepikan daripada lingkungan drama keseluruhannya.\nTidak lama dahulu drama televisyen juga tidak diterima sebagai karya sastera meskipun sambutan penonton terhadapnya baik. Walau bagaimanapun, sedikit demi sedikit, akhirnya dianggap juga sebagai karya sastera.\nTiada sebab atau alasan yang pasti bagi perubahan apresiasi tersebut. Mungkinkah kerana setelah teater seperti Bukan Lalang Ditiup Angin, Atap Genting Atap Rumbia, Tok Perak, Alang Rentak Seribu, Anjang Aki, dan Syyy dijadikan drama televisyen, maka baru drama televisyen dianggap sebagai karya sastera?\nAdakah setelah teater tersebut atau teater-teater lain dijadikan drama radio pula, baru drama radio dianggap sebagai karya sastera?\nBarangkali boleh berlaku sedemikian kerana tidak mustahil teater wajar dijadikan drama radio, ataupun drama radio menjadi teater atau drama televisyen. Namun begitu, jika setelah diangkat sedemikian baru drama radio bertaraf sastera, hal ini merupakan perkara yang menyedihkan.\nTanpa diangkat-angkat sedemikian sebagai antara cara mempopularkan, atau menyalurkannya dengan lebih luas, drama radio sememangnya karya sastera. Jika filem yang dianggap asing pun sudah ada segelintir sasterawan yang menerimanya sebagai karya sastera, apatah lagi drama radio yang datang daripada kelompok drama?\nPenekanan kepada pembelajaran untuk para pelajar semasa perintah kawalan pergerakan mengikuti bahan-bahan Komponen Sastera dalam bahasa Melayu (KOMSAS), dan subjek lain menerusi audio boleh dilaksanakan.\nAlasan mengatakan drama radio kurang mendapat sambutan, dan pendengarnya terbatas kepada suri rumah tangga sahaja tidak dapat diterima. Drama radio (yang muncul lebih dahulu daripada drama televisyen) juga terkenal, malah turut menampilkan banyak cerita bermutu.\nMeskipun dalam drama yang popular mungkin terkandungnya mutu dan dalam drama yang bermutu barangkali menerima sambutan yang popular, drama yang dianggap bermutu belum tentu terkenal, dan drama yang terkenal itu tidak semestinya bermutu. Namun begitu, taraf drama sebagai karya sastera tetap kekal.\nDalam kata lain, terkenal atau tidak, bermutu atau sebaliknya, drama radio sememangnya karya sastera. Penentunya ialah ciri-ciri drama yang dimilikinya, yang memang merupakan sastera. Diharap pada masa akan datang, hal ini mendapat pertimbangan yang sepatutnya.\nKetika diminta pendapat mengenai isu ini, Shukri Abdullah meletakkan peranan media massa sendiri seperti RTM untuk mempromosikan drama radio terbitannya. Namun bagi Shukri, badan penyiaran kerajaan tersebut sendiri tidak menganggapnya penting.\nShukri, juara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan 1996, mengambil drama radio khas Hari Raya terbitan RTM (siaran Klasik FM) pada 13 Mei lalu sebagai contoh.\n\u201cSepatutnya drama itu dipromosi secara meluas, bukan hanya di radio, tetapi juga di stesen televisyen RTM, supaya ramai yang tahu. Drama tersebut tidak wajar dilepaskan kerana menampilkan pelakon terkenal seperti Beto Khusyairi, Che Kem dan Mardiana Alwi,\u201d ujar Shukri yang kesal drama berkualiti sedemikian tidak diketahui ramai.\nShkuri menambah, selain promosi, hal yang turut menjadi masalah utama badan penyiaran kerajaan sekarang ialah skrip drama radio yang bermutu tinggi dan menarik.\n\u201cSaya fikir perlu ada panel penilai dalam kalangan pakar (baik dalam bidang drama, skrip ataupun bahasa) sebelum sesebuah skrip diketengahkan. Pemilihan pelakon juga penting kerana perlu sesuai dengan watak. Drama radio ialah karya audio yang perlu menitikberatkan kemampuan vokal, nada dan intonasi,\u201d ujar Shukri.\nDrama radio, katanya lagi, wajar menjadi sesuatu yang berharga kerana kebanyakannya kini cuma diterbitkan oleh RTM sahaja. Jadi, tegasnya, fikirkan bagaimana mahu menjadikan drama radio relevan dan diikuti oleh masyarakat yang lebih cenderung dengan media sosial sekarang.\nMenurut Shukri, bahagian tempatnya bertugas sekarang, iaitu Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia pun mahu beralih semula kepada audio pendidikan. Jadi, saranannya, penekanan kepada pembelajaran untuk para pelajar semasa perintah kawalan pergerakan mengikuti bahan-bahan Komponen Sastera dalam bahasa Melayu (KOMSAS), dan subjek lain menerusi audio boleh dilaksanakan. Suatu hal yang Shukri tidak sedari ialah, kini terdapat juga aplikasi media sosial yang berbentuk audio, yang juga agak terkenal dalam kalangan warga natif digital, iaitu \u201caudio siar\u201d (podcast) dalam internet dan apikasi Clubhouse (aplikasi yang membenarkan perbincangan secara audio secara talian). Aplikasi baharu ini boleh dijelajahi untuk memberi nyawa baharu pada ruangan siaran berbentuk audio.\nPegawai di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Che Kem pula memang menganggap drama radio ialah karya sastera.\n\u201cSaya dapati aspek bahasa buat skrip drama radio di RTM lebih tersusun. Kalau slot purbawara, kata bualnya sangat indah dan masih bersifat klasik,\u201d katanya, yang juga kerap diundang berlakon dalam drama radio.\nDrama di radio swasta tambah Che Kem, atau nama sebenarnya, Mohd Kamarulzaman Taib, lebih banyak menggunakan bahasa kolokial, dan cara atau gaya orang muda.\n\u201cSekarang, hanya RTM yang masih menerbitkan drama radio secara berjadual. Radio swasta tidak berminat. Kalau ada pun, hanya untuk slot khas sahaja,\u201d kata Che Kem, yang pernah memegang watak Tunku Abdul Rahman dalam filem 1957: Hati Malaya pada tahun 2007.\n_________________________\nRaja Yusoff Ariffin atau Raja Yusoff Raja Ariffin dilahirkan pada 21 Ogos 1962 di Pulau Tiga Kanan, Parit, Perak. Beliau menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Raja Yusoff merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur, rakan Tajulmedia Melayu dan pernah menganggotai PAKSI. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun \u201cBeraya di Kampung Warisan Melayu\u201d Satu Property (2020)." "Secangkir Kopi Jam Sepuluh: Pencetus Siaran \u201cLangsung\u201d Memahirkan Penulis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cHasrat episod ini adalah untuk memberikan pendedahan awal dalam kesusasteraan dan penulisan kreatif. Tujuannya supaya elemen gaya bahasa boleh dimanfaatkan dalam penulisan. Penulis lebih bijak menggunakan kata-kata dan penceritaan serta berupaya menghidupkan suis emosi pembaca.\u201d\nBegitulah ungkapan Nisah Haron dalam mukadimah episod empat, musim ketiga siaran Secangkir Kopi Jam Sepuluh pada Sabtu 5 Jun 2021 yang berjudul \u201cSpecial Effects\u201d dalam Penceritaan. Rancangan bual bicara dalam tempoh satu jam ini dihoskan oleh Azian Mohamed Isa dan terkini sudah pun bersiaran sebanyak 14 buah episod. Program siaran ini menggunakan pelantar Facebook sepenuhnya, malah semakin mendapat perhatian dan berjaya mencipta komuniti peminatnya yang tersendiri.\n\u201cSepanjang saya mengikuti Secangkir Kopi Jam Sepuluh, program ini tidak pernah mengecewakan. Sebagai penulis pemula, sudah lama saya mencari program tip penulisan yang sebegini bagus,\u201d kata Noraini Hasdin, salah seorang penonton.\nSecangkir Kopi Jam Sepuluh ialah rancangan yang berasaskan pendidikan. Rancangan ini menawarkan wacana ilmiah untuk mempertingkat kemahiran penulis. Dengan \u201cslogan\u201d (tagline) Terampil dan Bestari, siaran secara langsung (live) ini menampilkan Nisah Haron, penulis mapan dan aktivis sastera sebagai tetamu panel yang memerihalkan panduan dan maklumat berguna tentang ilmu penulisan.\nBermula dengan siaran ulung pada 31 Oktober 2020 dengan tajuk Perempuan dan Kain Layang, episod ini sahaja telah menarik jumlah penonton Facebook menghampiri 1000 tontonan secara langsung. Siapa sangka wacana tentang sastera arus perdana diminati sebegini? Episod pertama mengambil judul cerpen karya Nisah Haron yang telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2017/2018. Dalam siri tersebut, isu pemberdayaan dan pemerkasaan wanita yang ditampilkan dibincangkan. Proses kreatif pengarang juga turut dikupas dan dihuraikan.\nPaling menarik, episod selanjutnya yang disiarkan pada 14 November 2020 memperoleh capaian penonton secara langsung paling tinggi, iaitu sebanyak 1300 tontonan. Judul topik yang dibawakan dalam siri itu ialah Upskilling as a Writer. Hal ini jelas menunjukkan bahawa ilmu tentang pembangunan kemahiran sangat mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, lebih-lebih lagi pada musim pandemik yang sangat membataskan pergerakan. Pada masa Perintah Kawalan Pergerakan berlangsung tahun lepas, banyak pilihan siaran secara dalam talian yang tersedia ada di pelantar media sosial.\nSecangkir Kopi Jam Sepuluh sememangnya hadir dalam kemelut pandemik. Ketika masyarakat dicakar cemas dengan kuku pandemik yang belum nampak surutnya, rancangan ini tampil memaknakan hujung minggu penonton.\nJika ditanya bagaimanakah rancangan ini memastikan aroma kopinya kekal sedap dan membangkitkan selera? Jawapannya ada pada kandungan dan gandingan personaliti yang serasi. Setiap kali mahu ke udara, persediaan untuk latar, pencahayaan, audio dan tatarias sangat diambil kira dan akan ditambah baik dari semasa ke semasa. Hak penonton mestilah dihormati. Tempoh siarannya hanya satu jam. Tempoh yang paling ideal untuk menikmati hangatnya secangkir kopi.\n\nUntuk menonton siaran terbaharu \u201cSpecial Effects\u201d dalam Penceritaan, boleh klik di sini. Bagi yang berminat, boleh terus ke halaman Secangkir Kopi Jam Sepuluh di Facebook untuk menonton episod-episod terdahulu." "Dari Penjuru Sofa Zaini Ujang: Citra Manusia dan Alam Sekitar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cKumpulan puisi Dari Penjuru Sofa, ada kelainan yang dapat dirasakan daripada puisi biasa. Penulisnya mantan ahli akademik tersohor, pernah menjadi Naib Canselor termuda dalam sejarah universiti awam di Malaysia, dan menerima pelbagai anugerah berprestij. Penerbitan kumpulan puisi ini menunjukkan, pegawai tadbir juga berjiwa puitis dan kritis.\u201d\nDemikian ulasan yang diutarakan oleh Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara (KSN) terhadap kelahiran kumpulan puisi nukilan Dato\u2019 Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Malaysia.\nMeski bergelar \u201corang menteri\u201d, namun masyarakat seharusnya akur bahawa Zaini Ujang telah membawa satu anjakan paradigma terhadap tanggapan masyarakat yang sering memandang puisi sebagai sesuatu yang melankolik. Sedangkan puisi pada hakikatnya perlu dipandang sebagai salah satu ekspresi kisah-kisah kehidupan yang perlu diketahui oleh rakyat.\nPenglibatan beliau dalam dunia akademik yang telah menulis lebih daripada 300 artikel ilmiah tidak dapat mencapai kepuasan sanubarinya. Demikian hal ini kerana penulisan akademik bukan dapat dibaca oleh orang awam. Hal ini telah mengurangkan tempo gerak kerja beliau untuk membuat perubahan kefahaman terhadap pelestarian alam sekitar. Justeru, puisi dijadikan sebagai wahana untuk memenuhi hasrat tersebut.\nBual bicara tersebut berlangsung dari Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP, pada 7 Jun jam 12.00 tengah hari yang lalu dalam rancangan Bicara Karyawan Dari Penjuru Sofa. Moderatornya, Ghani Abu melontarkan persoalan-persoalan yang berjaya mencungkil rahsia-rahsia sebalik penghasilan lebih 50 buah sajak baharu nukilan Zaini Ujang sejak 11 November 2020 hingga 1 Februari 2021. Buku setebal 326 halaman ini juga merangkumkan sajak terpilih Zaini Ujang yang terdahulu.\nDari Penjuru Sofa ialah hasil karya yang tercetus sewaktu musim Pandemik COVID-19. Bercerita tentang proses kreatif penulisan sajak tersebut, di penjuru sofa ialah tempat beliau berkarya secara bersendirian. Di situlah banyak sajak dihasilkan. Kurang lebih 10 jam masa telah digunakan untuk membaca dan menyiapkan tugasan, sambil minum kopi dan adakala tertidur di situ. Banyak rahsia tersimpan di penjuru sofa yang merakam detik-detik penghasilan puisi tersebut, maka turut diangkat sebagai judul buku.\nSajak pemula, iaitu \u201cRuang Kecil\u201d ialah rakaman tempat dan saat-saat beliau bersama-sama dengan keluarga menjalankan aktiviti seperti bersolat, bermain dengan anak cucu dan berehat. Aktiviti ini diistilahkan sebagai \u201ctersangkar\u201d, iaitu terbatasnya pergerakan disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).\nMenariknya, buku puisi ini turut memuatkan persoalan kemajuan bangsa Melayu melalui sajak \u201cRagam Melayu Baharu\u201d, \u201cMelayu Malu\u201d dan \u201cBangsa Melayu\u201d. Zaini Ujang turut menyorot pengalaman beliau berkelana dan bersahabat dengan masyarakat di luar negara. Melalui pengamatan dan pergaulan, beliau mendapati definisi bangsa maju bukanlah diukur melalui kemewahan harta benda, sebaliknya bangsa maju ialah sesuatu yang ada dalam kehidupan sesebuah komuniti. Ia tidak dapat diukur secara individu.\n\u201cSaya mempunyai teman yang tinggal di Gothenburg, Sweden, sebuah perkampungan yang tidak mengamalkan kehidupan berteknologi. Di sana, tiada TV, tiada internet. Penduduknya berbasikal dan tinggal di rumah pangsa. Bahkan teman saya itu ialah seorang ahli akademik terkenal. Hal ini menunjukkan bahawa ukuran kemajuan bangsa bukan pada kereta yang mewah atau rumah yang besar. Sebaliknya daripada rasa kepunyaan atau belonging yang dimiliki oleh sesuatu komuniti,\u201d ujar Zaini Ujang.\nTidak ketinggalan, peranannya sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar juga turut dimanfaatkan dengan menghasilkan sajak seperti \u201cResmi Air\u201d dan \u201cWakaf Air\u201d.\nKritikan sosial juga turut mengambil ruang dalam sajaknya yang menegur tentang ekosistem politik dan lembangan sungai. Citra bangsa Jepun juga turut diangkat kerana masyarakat Jepun jauh lebih maju, berdisiplin, menghargai alam sekitar, budaya dan bahasa, dan tidak berasa kerdil apabila berhadapan dengan orang besar. Persamaan tersebut perlu dihadirkan melalui puisi meskipun masyarakat Malaysia masih jauh untuk melangkah ke arah itu.\nSajak Zaini Ujang bukan sahaja ditulis dengan gaya penulisan yang unik, bahkan turun dipersembahkan dalam bentuk susun atur aksara yang unik seperti piramid serong, formula arus, hujan yang melimpah dan sebagainya.\nDatuk Rahman Shaari dalam ruangan Permata Puisi Dewan Sastera Bil.06/2021 menyatakan, sebahagian puisi Zaini Ujang bercorak liris, bergaya intelektual (yang menyatakan falsafah atau memuatkan pemikiran tentang kehidupan) dan kekal memilih gaya mudah serta pesan demi pesan yang mendekati masyarakat.\nZaini Ujang menegaskan pada akhir bicara, pandangan dan kritikannya melalui puisi sebenarnya bertujuan untuk membetulkan fahaman pihak tertentu yang suka mengambil mudah tentang sesuatu perkara. Baginya, tidak mudah untuk mengubah dengan kuasa dan undang-undang, jadi janganlah mudah berjanji kerana adakala orang yang mencadangkan sesuatu itulah yang akan merosakkannya.\nSiaran Bicara Karyawan tersebut boleh ditonton di sini." "Tiada Kompromi tentang Kualiti bagi Penerbitan Tiga Kumpulan Puisi Terbaharu Kata-Pilar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPuisi sebenarnya memiliki penggemar yang ramai namun cabaran terbesar ialah menukarkan peminat itu menjadi pembeli. Apatah lagi peminat puisi di Malaysia jika dilihat secara kasar sering terpecah oleh kelompok-kelompok kecil, sama ada oleh generasi, organisasi, lokaliti, mahupun medium yang digunakan.\nBagi Fahd Razy, penyair yang membangunkan penerbitan indie, Kata-Pilar, di Facebook dan Twitter misalnya, wujud penggemar puisi dalam kelompok sendiri. Katanya, keadaan terpisah-pisah ini mengakibatkan pasaran buku puisi sering terbatas dalam lingkungannya sendiri.\n\u201cKeadaan ini menjadi cabaran, justeru formula yang praktikal dan konsisten masih diperlukan untuk menjadikan puisi sebagai produk yang kompetitif dalam pasaran buku secara keseluruhan,\u201d katanya.\nJusteru, meskipun dalam keadaan ramai penerbit buku mengeluh mengenai kemerosotan jualan, Kata-Pilar baru-baru ini melancarkan tiga buah kumpulan puisi. Satu daripadanya ialah Bara Hujan oleh Rudi Mahmood, manakala dua lagi masing-masing tulisan penyair muda, Abdullah Hussaini (Daftar Mimpi) dan Hidayyah AT Mizi (Kata-kata yang Muncul di Cermin).\nRudi Mahmood bukan nama asing bagi khalayak sastera kebangsaan namun mempertaruhkan kumpulan puisi oleh penulis baharu seperti Hidayyah agak berisiko. Namun bagi Fahd Razy, hal yang paling utama sebelum sesebuah karya itu diterbitkan ialah kualiti karya itu sendiri. Seterusnya dari situ, potensi seseorang penulis untuk terus maju boleh dilihat sebelum mereka dinilai, maka perlulah diberi ruang penerbitan.\n\u201cHidayyah sebenarnya mula menulis sebelum tahun 2010 lagi melalui laman portal sastera Kapasitor.net. Melalui halaman Facebook Tukang Puisi, kami mengesan gaya penulisan Hidayyah nampak kukuh dan tersendiri.\n\u201cPemilihan imej dalam puisi Hidayyah selalu kelihatan lincah dan di luar jangka, tapi dalam masa yang sama segar dan kemas. Sesuatu yang baharu untuk penulisan puisi,\u201d katanya.\nTambah Fahd Razy, manuskrip Hidayyah dan Abdullah Hussaini sebenarnya diambil daripada penyertaan Sayembara Puisi KataPilar 2.0. Sayembara itu juga kata Fahd Razy membantu untuk mengenal pasti manuskrip yang baik untuk diterbitkan.\nNamun satu hal yang jelas bagi Fahd Razy, baharu atau lama bukan persoalan utama kerana Kata-Pilar sentiasa bersedia menerbitkan karya sesiapa sahaja tanpa berkompromi tentang soal kualiti.\n\u201cJika diletak hierarki, pertama tentunya kekuatan karya. Tiada kompromi. Kedua, kekuatan penulis yang dinilai melalui konsistensi karya dan potensi yang ditunjukkan penulis di luar manuskrip. Ketiga, kebolehpasaran karya dan hal ini amat dipengaruhi oleh keadaan semasa dan khalayak Kata-Pilar. Keempat, nilai tambah yang lain, misalnya gaya penulisan yang baharu dan berbeza, seperti yang dibawakan oleh Jack Malik dan Aliff Awan, yang dapat mempelbagaikan rupa puisi di Malaysia,\u201d katanya.\n\nBara Hujan, Kata-kata yang Muncul di Cermin dan Daftar Mimpi sudah ada di pasaran sejak 25 Mei 2021 dan boleh dibeli di sini. Promosi harga prapesan masih berjalan sehingga 18 Jun ini." "Ilmu tentang Kemanusiaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKolumins S.M. Zakir mengenal pasti \u201cfakulti ilmu kemanusiaan\u201d yang dimulakan pada Zaman Pencerahan di Eropah dan sisi hikmahnya bagi perkembangan ilmu sejagat, selain memunculkan suatu revolusi baharu dalam seni dan sastera Barat. \nPara penulis yang merasakan diri mereka sasterawan tidak haruslah cepat berbangga jika tulisan atau karya mereka gagal membawa apa-apa sarana pemikiran \u2013 untuk meletakkan mereka sebagai penyumbang kepada \u201cfakulti ilmu kemanusiaan\u201d ini.\nZaman Pencerahan (Age of Enlightenment) di Eropah dikatakan muncul dengan gencar di antara tahun 1350 dengan 1650. Rentetan tiga peristiwa perang besar yang melibatkan negara-negara di Eropah, iaitu Perang Seratus Tahun dan Perang 30 Tahun yang membawa kepada Perjanjian Westphalia serta pertembungan Eropah dengan kuasa Islam, iaitu Perang Salib. Peperangan demi peperangan membawa Eropah kepada keadaan kucar-kacir. Keadaan ini diburukkan lagi oleh perlakuan pihak Gereja yang mengambil kesempatan menggunakan agama Kristian untuk kepentingan segelintir golongan pemuka agama Kristian kononnya. Hal ini ditambah pula dengan penindasan puak bangsawan. Penindasan ini akhirnya menimbulkan perasaan tidak puas hati dan ketidakpercayaan kepada institusi-institusi yang memegang \u201cnasib\u201d manusia Eropah ini. Perang Salib juga boleh dikatakan faktor penolak yang penting kepada munculnya Zaman Pencerahan, dalam konteks menyerap kemajuan umat Islam ketika itu.\nSuasana ini mendorong kepada usaha untuk melahirkan fikiran-fikiran yang dapat membawa manusia Eropah keluar daripada kegelapan ini. Penelitian Jacob Burckhardt mendapati benih Zaman Pencerahan ini bercambah di Itali dengan munculnya Pencerahan Kaum Itali yang berlaku pada awal dan pertengahan abad ke-14. Pencerahan ini bermula dengan kemunculan tokoh-tokoh seperti Dante Alighieri, Francesco Petrarca, Poggio Bracciolini, Leonardo Bruni, Lorenzo Valla, Leon Battista Alberti, Marsilio Ficino, dan Niccol\u00f2 Machiavelli. Walaupun era ini banyak menyaksikan perbalahan dan perbahasan tentang agama (Kristian khususnya), namun suasana pergolakan itu sebenarnya khusus pada perbalahan dengan pihak Gereja (oligarki agama) yang bersembunyi di sebalik agama.\nFikiran berkembang kepada persoalan mengorganisasikan kehidupan manusia melalui komuniti bebas yang adil dan saksama. Maka di sini lahir pemikiran tentang ilmu kemanusiaan. Objektif ilmu kemanusiaan melihat hubungan manusia dengan Tuhan dan hubungan manusia dengan manusia, khususnya komunikasi antara manusia. Kedua-dua objektif ini melengkapi antara satu sama lain. Tiga disiplin dalam pengajian ilmu kemanusiaan ini ialah hierarki kewujudan dan berkembangnya manusia sebagai makhluk alamiah melalui kapasitinya untuk berkomunikasi antara mereka dengan menzahirkan potensi untuk berhubung langsung dengan Tuhan tanpa perantaraan. Usaha Pencerahan pada awalnya bukanlah suatu bentuk falsafah atau sistem, tetapi lebih kepada program pembudayaan dan pendidikan yang memupuk dan membangunkan bakat dalam diri setiap manusia, seterusnya meneguhkan keyakinan atas kepercayaan yang dibentuk oleh ilmu yang rasional.\nIlmu kemanusiaan menyangkutkan soal memeriksa diri dan menilai diri, melalui pengajian atau pembelajaran terhadap produk atau hasil kejiwaan manusia, khususnya seni dan sastera. Lalu di sini, seni dan sastera merupakan subjek penting dalam ilmu kemanusiaan. Daripada perkembangan pengajian seni dan sastera inilah lahirnya pemikiran serta falsafah yakni sistem pemikiran yang lebih jitu dan teratur. Hal ini merupakan objektif utama atau prime object pada ilmu pengetahuan. Ilmu kemanusiaan yang dihidupkan oleh seni dan sastera dalam konteks pembudayaan dan pemupukan cara berfikir rasional, meluruskan jalan kehidupan tanpa bergantung pada kekuasaan manusia yang salah.\nKita mungkin terperangkap apabila melihat sisi gelap Pencerahan Eropah oleh pertentangannya dengan agama dan doktrin sekularnya. Namun, terdapat juga sisi cerah dalam Pencerahan Eropah membangunkan rasionalisasi ilmu kemanusiaan, khususnya melihat fungsi seni dan sastera dalam kehidupan manusia. Ilmu kemanusiaan yang menjadi asas penting kepada pencerahan Eropah merupakan antara sumbangan penting Pencerahan Kaum Itali sekitar abad ke-14 dan ke-15. Pada tempoh ini, puitika diangkat menjadi sarana penting menggantikan khutbah yang menyeleweng di gereja, yang selalu menanamkan dogma yang akhirnya menguntungkan pihak gereja dari segi pengaruh, kuasa dan material pada ketika itu \u2013 kebalikannya menindas rakyat jelata melalui kepercayaan membabi buta. Puitika bangun mengkritiknya, adakala dengan halus dan adakala dengan sangat sarkastik. Senario atau kes yang berlaku pada abad pertengahan di Eropah, tidaklah boleh dilihat sebagai permusuhan atau penolakan mutlak terhadap agama, sebaliknya hanya kes yang berlaku terhadap agama Kristian yang dipergunakan oleh segelintir kaum Gereja yang berpengaruh ketika itu.\nIlmu kemanusiaan berdiri di atas prinsip sejagat.\nNamun begitu, persoalan yang ingin dilihat di sini ialah bagaimana munculnya ilmu kemanusiaan yang bertunjangkan seni dan sastera menjadi sarana Pencerahan. Pada hari ini, muncul Fakulti Ilmu Kemanusiaan yang mengandungi pengajian seni dan sastera di dalamnya. Penggunaan istilah \u201cPengajian Sosial\u201d menggantikan \u201cIlmu Kemanusiaan\u201d adakalanya semacam menghilangkan roh pencerahan yang memupuk budaya berfikir rasional dan filosofikal dalam gelombang revolusi ilmu, jika dilihat daripada sejarahnya yang panjang. Dalam pada itu, haruslah jelas bahawa seni dan sastera yang memupuk cara fikir itu tentulah seni dan sastera bermutu tinggi yang membawa pemikiran utuh sekali gus meletakkannya dalam kategori budaya tinggi. Para penulis yang merasakan diri mereka sasterawan tidak haruslah cepat berbangga jika tulisan atau karya mereka gagal membawa apa-apa sarana pemikiran \u2013 untuk meletakkan mereka sebagai penyumbang kepada \u201cfakulti ilmu kemanusiaan\u201d ini.\nMempelajari sastera sebagai ilmu tentang kemanusiaan membuka begitu banyak ruang berfikir. Sebagaimana maklum, sastera membiaskan butir-butir kehidupan yang paling rinci, malah paling kecil dalam pencarian maknanya yang besar. Sekali gus menjadi dokumen dan sarana kehidupan yang unik. Sejarah dikatakan sebagai berulang dengan sendirinya, tetapi berulang dalam persekitaran yang memuati sebab-akibatnya yang sama. Maka, kehidupan hari ini harus juga melihat sejarah masa lalu dalam memahami corak sesuatu peristiwa berlaku dan berlaku lagi. Sastera selalunya ditulis mewakili zamannya. Oleh itu, sastera itu merupakan sebahagian daripada dokumentasi sejarah yang membawakan jiwa di dalamnya; dalam kata lain \u201cbahan\u201d untuk memahami corak perubahan kehidupan atau sebab akibat sesuatu itu berlaku. Malah, banyak karya besar sastera mengubah cara fikir manusia melihat sistem kehidupan.\nSemua hal ini memperlihatkan betapa pentingnya sastera dalam keberadaannya sebagai ilmu tentang kemanusiaan. Apabila melihat kepada pentingnya sastera sebagai ilmu kemanusiaan, membuatkan banyak negara maju memberikan perhatian besar pada seni dan sastera, termasuk dengan cara menginstitusikan seni dan sastera. Tidak terkecuali, negara maju banyak mencurahkan dana dan memelihara para sasterawan mereka. Namun, sebahagian negara membangun cuba meniru langkah ini, tetapi melakukan kesilapan apabila menghabiskan dana yang besar untuk membayar gaji atau emolumen pengurus dan pentadbir yang banyak dan ramai, tetapi meninggalkan penulis miskin papa kedana; sekali gus sastera menjadi daif.\nSastera sebagai ilmu tentang kemanusiaan pernah mencapai kejayaannya yang gemilang apabila menjadi benih kepada tumbuhnya pemikiran demi pemikiran, dan falsafah demi falsafah. Seterusnya melahirkan Zaman Pencerahan di Eropah yang muncul sebagai kuasa dunia yang tidak tercabar. Ada sesuatu yang menarik tentang asas ilmu kemanusiaan pada zaman awal Pencerahan Eropah, iaitu objektif keilmuannya yang melihat hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan Tuhan. Adakah asas keilmuan pencerahan ini diserap daripada prinsip pemikiran Islam tentang habluminannas dan habluminallah, hasil daripada pertembungan Barat dengan Islam dalam Perang Salib?\nKita tidak dapat menjawabnya, tetapi perkara yang paling nyata ialah ilmu kemanusiaan ini berdiri di atas prinsip sejagat.\n_________________________\nS.M. Zakir atau nama penuhnya Syed Mohd Zakir bin Syed Othman dilahirkan pada 4 Februari 1969 di Kota Bharu, Kelantan. Beliau memulakan kerjaya dalam industri media sebelum menjadi penulis sepenuh masa pada tahun 2000. Sepanjang berkarya, S.M. Zakir telah menerima banyak hadiah dan anugerah sastera, seperti Hadiah Sastera Malaysia 1994/1995 bagi kumpulan cerpen Merengkuh Langit (DBP, 1995) dan Anugerah Sastera Negeri Kelantan bagi kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibrail (Pustaka Nusa, 2001), selain Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil, Hadiah Sastera DBP-Maybank, Hadiah Sastera 100 tahun Kuala Lumpur DBP-DBPKL, Hadiah Formula Malaysia, dan Anugerah GAFIM (kritikan filem). Beliau juga telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Muda Mastera 2010 dan penerima SEA Write Awards (Malaysia) 2011." "Manuskrip Alaf Baharu, Modenifikasi Era Digital\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Manuskrip Alam Melayu ialah naskhah tulisan tangan yang menghimpunkan ilmu pengetahuan orang-orang lama. Manuskrip ini ditulis dalam bahasa Melayu menggunakan tulisan Jawi. Dianggarkan penemuan manuskrip Alam Melayu sekitar abad ke-14 hingga abad ke-19 Masihi dan pendapat lain menyatakan penemuannya pada abad ke-16 hingga abad ke-20 Masihi.\nKali ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menampilkan Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad sebagai panel jemputan dalam rancangan Yang Lama Dijunjung \u201cManuskrip Alaf Baharu\u201d, pada 9 Jun 2021 melalui Studio Media Sosial DBP.\nKeunikan penghasilan manuskrip Melayu bukan sahaja daripada kertas bahkan terdapat juga daripada daun lontar, kulit binatang dan buluh. Hal ini membuktikan bahawa kecintaan dan kegigihan masyarakat Melayu terdahulu mendokumentasikan ilmu dan pemikiran bangsa Melayu. Sayangnya, Malaysia masih ketinggalan dalam pengkajian manuskrip Alam Melayu jika hendak dibandingkan dengan negara-negara Eropah, seperti Belanda, United Kingdom dan Rusia.\nManuskrip Alam Melayu bertebaran di serata dunia dan masih dipelihara dengan begitu baik. Kedapatan sebanyak 20 ribu buah manuskrip yang berada di luar negara menuntut untuk dikaji. Penjajahan merupakan faktor utama manuskrip Melayu dibawa keluar dari Malaysia. Pun demikian, ada juga usaha daripada orang-orang Barat pada zaman dahulu yang sangat mencintai manuskrip Melayu, sehingga bergolok-gadai mengupah orang tempatan untuk menyalin semula manuskrip-manuskrip tersebut, lalu dibawa pulang ke negara mereka. Manuskrip-manuskrip Melayu juga sering dijadikan sebagai hadiah pada ketika itu. Lantaran itu, tidak hairanlah manuskrip tersebut berada di negara-negara luar.\nDr. Salmah menjelaskan, risiko-risiko kerosakan ialah cabaran utama yang perlu dihadapi oleh pencinta manuskrip sekiranya usaha-usaha menanganinya tidak dilakukan. Hal ini demikian kerana, manuskrip yang dihasilkan daripada daun lontar dan buluh misalnya, tidak tahan pada serangan serangga dan cuaca. Kenyataan yang dikemukakan ini berdasarkan pengalaman beliau sendiri yang berkunjung ke Perpustakaan Universiti Leiden, Belanda semasa membuat penyelidikan.\nDr. Salmah menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Rafiq Rahman selaku moderator program bahawa cabaran paling utama bagi pengkajian manuskrip-manuskrip Melayu ialah kelemahan menguasai tulisan Jawi. Jenis tulisan dan gaya bahasanya menuntut seseorang pengkaji mengetahui ilmu transliterasi, iaitu suatu ilmu dalam bidang filologi untuk melakukan sesuatu kajian. Kos yang tinggi juga merupakan salah satu cabaran yang sering melunturkan semangat masyarakat ataupun penyelidik, khususnya untuk mendalami manuskrip-manuskrip Alam Melayu.\nNamun demikian, semangat perlu ditekalkan agar manuskrip-manuskrip Melayu tidak dipandang sepi. Tambahan pula, dalam dunia moden kini, telah giat dijalankan usaha-usaha mendigitalkan manuskrip Alam Melayu. Perpustakaan British misalnya, telahpun mendigitalkan hampir kesemua manuskrip Melayu dalam koleksi simpanan mereka. Disamping itu, Perpustakaan Universiti Leiden dan School of Oriental and African Studies, London juga turut menjalankan usaha ini. Meskipun kos pendigitalan menelan belanja sebanyak 1 Euro per halaman, namun usaha ini amat berbaloi untuk meneruskan pengkajian dan memastikan manuskrip-manuskrip dapat dipulihara.\nPerkembangan manuskrip alaf baharu turut merentas sosial media apabila Ybhg. Datuk Dr. Annabel Teh Gallop, Ahli Lembaga Penasihat Antarabangsa Manuskrip Alam Melayu memperkenalkan manuskrip-manuskrip Alam Melayu di Facebook dan Twitter. Dr. Annabel turut membawa pendekatan animasi dan videografik dalam laman Twitter bagi menarik minat anak-anak muda untuk mendekati dunia manuskrip Alam Melayu. Di Malaysia juga, usaha ini telah dilakukan oleh beberapa buah universiti, Yayasan Warisan Johor misalnya, menerusi Koleksi Artifak di Youtube.\nApabila melihat pada cabaran pendigitalan manuskrip alaf baharu, perlu ada kolaborasi daripada pelbagai pihak, khususnya kerajaan untuk menyokong dan menampung kos yang tinggi ini. Pihak swasta dan individu yang berkemampuan juga turut digalakkan mengambil tempat untuk menyemarakkan dunia pendigitalan manuskrip. Lantaran itu, generasi kini dapat meneruskan legasi kecintaan terhadap manuskrip kerana pendigitalan manuskrip lebih mudah diakses di mana-mana sahaja secara dalam talian.\nSiaran Yang Lama Dijunjung tersebut boleh ditonton di sini." "Puisi Penaik Semangat dan Tarikan Pelancongan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Majlis Perisytiharan Hari Puisi Malaysia telah bersiaran melalui Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 13 Jun 2021 (Ahad), pukul 3.00 petang.\nMajlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Sri Hamad Kama Piah Che Othman. Beliau menyatakan, \u201cSebagai Penaung Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia, saya menyambut baik usul mengadakan satu hari khusus bagi mengangkat serta memartabatkan puisi dalam kalangan masyarakat di negara ini.\u201d \nDalam ucapan tersebut juga, beliau menyifatkan puisi sebagai medium ucapan rasa, idea dan pemikiran yang perlu diberi kedudukan sewajarnya agar dikenang oleh generasi baharu dari semasa ke semasa.\n\nKetua Pengarah DBP, Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg. Shokeran dalam ucapannya menyatakan bahawa UNESCO telah menetapkan 21 Mac sebagai Hari Puisi Sedunia. Beliau berucap, \u201cAkhirnya bagi pihak DBP, kami memberi jaminan bahawa DBP akan sentiasa menyokong apa juga program, apa juga usaha yang dilakukan oleh badan-badan bukan kerajaan yang bertujuan untuk mengangkat dan juga menyemarakkan kegiatan-kegiatan kebangsaan ataupun kegiatan-kegiatan persuratan di negara kita.\u201d\nMajlis diteruskan lagi dengan ucapan perasmian daripada YBhg. Dato\u2019 Noor Zari Hamat, Ketua Setiausaha di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia sebagai wakil rasmi YB. Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Beliau membacakan teks ucapan menteri.\n\u201cDalam pandangan saya, puisi itu adalah ekspresi kepada pemikiran yang jelas terhadap sesuatu isu yang disusun dalam bahasa yang indah. Betullah kata Za\u2019aba, puisi atau karangan berangkap sebagai khas dipakai untuk melafazkan pemikiran yang cantik dan bahasa yang indah.\n\n\u201cPuisi juga dianggap sebagai pengubat jiwa dan emosi. Puisi pernah digunakan sebagai penaik semangat perjuangan sesuatu bangsa,\u201d ujar beliau. Dato\u2019 Dr. Noor Zari juga berpendapat, acara puisi boleh dijadikan acara tarikan pelancongan, seperti yang dilakukan oleh kebanyakan negara luar. Akhir kata, beliau mengisytiharkan 13 Jun sebagai Hari Puisi Malaysia yang akan disambut pada setiap tahun.\n\nMajlis diserikan dengan acara membaca puisi oleh para Sasterawan Negara (SN), termasuk Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh (\u201cAku Penyair\u201c), Datuk Dr. Anwar Ridhwan (\u201cPaus\u201c), Datuk Dr. Zurinah Hassan (\u201cKetika Alam Menangis\u201c), dan Datuk Dr. Siti Zainon Ismail (\u201cMalam Sunyi Kota Raya\u201c).\nMajlis Perisytiharan Hari Puisi Malaysia\u00a0yang berlangsung secara talian ini boleh ditonton di sini." "Semarak Penyair Seluruh Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Program Semarak Puisi Malaysia telah bersiar secara langsung melalui FB langsung Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 13 Jun 2021, pukul 9.00 malam bersempena dengan Perisytiharan Hari Puisi Malaysia.\nHari Puisi Malaysia diadakan sebagai pengiktirafan kepada pemuisi Malaysia. Acara dimulai dengan kata alu-aluan oleh Dr. Radzuan Ibrahim, Presiden Pemuisi Malaysia. Dr. Radzuan mengucapkan terima kasih kepada DBP kerana berusaha menjadikan hari puisi sebagai suatu kenyataan. Katanya lagi, puisi yang baik dan bererti mempunyai diksi-diksi indah, boleh memberikan pendidikan, mengangkat maruah dan jati diri, dan memberikan manfaat ke arah membijaksanakan pembaca. \u201cPuisi dapat mengeratkan perpaduan bangsa dan memartabatkan bahasa,\u201d katanya, yang setelah itu\u00a0 mendeklamasikan sebuah puisi berjudul \u201cRumah Cinta\u201d.\nPada segmen pertama, terdapat lima puisi yang dideklamasikan. Puisinya ialah \u201cTerbanglah Rajawaliku\u201d (Man Kayan), \u201cCerita Mutiara di dalam Tiram\u201d (Dato\u2019 Jasni Matlani), \u201cMendukung Perjuangan Bersama\u201d (Datin Seri Haryani Harun), \u201cLandasan\u201d (Zaleena E-na), dan \u201cTitah DiRaja II\u201d (Dr. Abang Patdeli Abang Muhi).\nPada Segmen kedua, puisi yang dideklamasikan ialah \u201cIbrah Gelombang Baharu Virus Corona\u201d (Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan), \u201cRungkumani di Lenggok Sastera\u201d (Dr. Mohamad Hanafi Hashim), \u201cCOVID-19, Misteri dalam Realiti\u201d (Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman), \u201cPahlawan Kuda Kepang dan Maharaja\u201d (Mohd Shareezad Satad), \u201cSurat Tanggang kepada Ibunya\u201d (Mohama Letfee Ahmad), dan \u201cMalam\u201d (Sani Sudin).\nSegmen ketiga menampilkan puisi \u201cSanjung Pujiku\u201d (Datuk Dr. Hashim Yaakob), \u201cKehilangan\u201d (Aminuddin Md. Ali Hanafiah), \u201cHidup Bersama\u201d (Mohamad Daud Ahmad), \u201cGangga Menangis\u201d (Maslinah Yusof), dan \u201cAsbab\u201d (Siso).\nDalam segmen keempat pula, puisi yang dideklamasikan ialah \u201cPesan Abu Bakar\u201d (Dato\u2019 Rahman Shaari), \u201cUtopia Dunia Tanpa Perang\u201d (Puzi Hadi), \u201cPidato Seorang Lelaki Jalanan\u201d (Azmi Ismail), \u201cBuat Penyairku\u201d (Zailani Ali), dan \u201cPerjalanan\u201d (Adiwangsa Sukma).\nSegmen kelima dan terakhir menampilkan puisi \u201cCerita Sebuah Tari\u201d (Dr. Lim Swee Tin), \u201cIngin Jadi Sasterawan\u201d (Nurul Syahidah Hassan), \u201cWadah Puitis Sejagat\u201d (Harlym Yeo), \u201cPesan\u201d (Manzelan Perindu Seni), \u201cPengait Tua\u201d (Yuzailan Yunos), dan lagu puisi Tuai Padi antara Masak\u00a0(Roslan Madon dan Zafirah Bahiyah Hasan).\nAcara Semarak Puisi yang berlangsung secara talian ini boleh ditonton di sini." "Menjadi Penulis Harus Berani\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Menjadi penulis tidak bermaksud seseorang itu hanya berkhayal dan merakamkan perasaan dan emosinya, sebaliknya mestilah berani untuk menentang hal yang berlawanan dengan kepentingan nasional.\u00a0Kerja menulis seharusnya menjadi perjuangan seperti yang dibuat oleh penulis Malaysia ketika menentang pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sehingga polisi itu akhirnya dibubarkan.\nSasterawan Negara Dato\u2019 Baharuddin Zainal atau Baha Zain sewaktu menjadi tetamu dalam acara program Kalam Karyawan \u201cDari Kertas Catatan Tengah Malam\u201d pada 14 Jun 2021, anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), berkata tidak guna menjadi penulis jika hal sebegitu tidak diperjuangkan.\n\u201cPenulis seharusnya mempunyai keberanian menyebut, termasuklah kepada pemerintah jika berkaitan hal-hal yang melanggar kepentingan nasional. Saya berterima kasih kepada rakan penulis, misalnya dalam perjuangan PPSMI, mereka mempunyai keberanian itu,\u201d katanya.\nBaha Zain berkata, sastera Malaysia mempunyai sejarah yang panjang dan ia berkembang dengan baik dan hari ini mempunyai ramai penulis pelapis.\nKatanya, berbanding zaman ketika beliau mula menulis, hari ini kebanyakan penulis berada dalam zaman mewah dan mudah.\n\u201cKetika saya mula menulis pada tahun 60-an, zaman itu serba kekurangan. Namun pendidikan memberikan saya peluang melihat persekitaran dengan lebih peka. Saya menulis untuk merakamkan hal-hal yang membebankan emosi dan pemikiran. Puisi saya adalah rakaman persekitaran,\u201d katanya.\nTegas Baha Zain, maka itulah kebanyakan puisinya puisi protes menentang pemerintah. Namun terdapat juga puisi yang ditulis terhasil daripada kasih sayang dan pemerhatiannya kepada isteri, ibu dan bapanya.\n\u201cBanyak puisi protes saya itu mengungkapkan hal bahasa. Saya kira ini penting kerana sastera adalah ungkapan kebudayaan. Budaya itu dilihat melalui bahasa yang di dalamnya adalah cerminan nilai dan budi,\u201d katanya.\nKatanya, puisi tentang isterinya pula terlahir daripada rasa terima kasih atas pengorbanan wanita itu sepanjang perkahwinan mereka. \u201cIsteri saya sangat memahami dan bertoleransi. Jika ada penulis yang boleh berkarya dalam kebisingan, saya tidak. Saya sensitif pada kebisingan dan kerana pemahaman isteri sangat saya hargai. Beliau akan menjauhkan anak-anak ketika saya menulis. Beliau setia di sisi walaupun banyak masa saya ketika muda dihabiskan di luar menyertai bengkel dan kursus,\u201d katanya.\nSelain itu katanya, beliau juga terinspirasi dengan pengorbanan kedua-dua ibu bapanya yang membolehkannya mendapat pendidikan dan pekerjaan yang baik.\u00a0Tambahnya, kehidupannya mewah dengan kasih sayang isteri dan kawan-kawan, apatah lagi budi baik mereka yang sudi menterjemahkan karyanya ke dalam bahasa Inggeris.\n\u201cRakan saya, Sasterawan Negara Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh antara yang kerap menterjemahkan karya saya dalam bahasa Inggeris. Daripada terjemahan bahasa Inggeris itulah kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain. Jika hari ini saya dilihat berjaya, sebahagian besar kejayaan saya itu ialah hasil pengorbanan ibu bapa, isteri dan sokongan kawan-kawan,\u201d katanya.\nAcara Kalam Karyawan yang berlangsung selama dua jam lebih secara talian ini boleh ditonton di sini." "Penterjemah Perlu Mempunyai Kemahiran Bahasa yang Tinggi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pelbagai bahasa dan budaya menjadi antara sempadan besar untuk manusia saling berkomunikasi antara satu sama lain. Walau bagaimanapun, halangan ini dapat diatasi dengan khidmat terjemahan yang semakin berkembang pada masa ini. Sehubungan dengan itu, bersempena dengan Hari Terjemahan Antarabangsa (30 September 2022), Institut Terjemahan Bahasa Melayu (ITBM) telah menganjurkan sesi Wawancara Layar Putih ITBM yang bertajuk \u201cTerjemahan Menghubungkan Dunia Tanpa Sempadan\u201d.\nSesi yang berlangsung selama satu jam setengah ini telah mengundang dua orang panel, iaitu Ketua Unit Asing dan Terjemahan, Pusat Kajian Bahasa dan Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohamed Zain Sulaiman dan Pensyarah Kanan, Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Norhazlina Husin bersama-sama pemudah cara, iaitu Ketua Jabatan Terjemahan dan Latihan ITBM, Siti Rafiah Sulaiman. Sesi wawancara ini juga boleh ditonton secara dalam talian menerusi Facebook, Youtube dan Twitter ITBM.\u00a0Rakaman sesi perkongsian ini boleh ditonton melalui\u00a0https://www.facebook.com/rakanITBM/videos/1459753887851043..\nSebagai panel pertama, Prof. Madya Dr. Mohamed Zain Sulaiman mengungkapkan konsep sempadan yang sangat berkait rapat dengan penterjemahan kerana masyarakat yang berlainan bahasa dan budaya boleh dihubungkan komunikasinya melalui terjemahan. Penterjemahan ini akhirnya mampu mewujudkan satu dunia tanpa sempadan.\nTeori dan praktikal yang dipelajari oleh mahasiswa dalam bidang terjemahan adalah berbeza daripada dunia sebenar alam pekerjaan dalam bidang ini. Namun begitu, kedua-duanya berkait rapat kerana alam akademik membina ilmu kemahiran berkaitan dengan bidang terjemahan. Para pelajar perlu memperkembang ilmu terjemahan dari semasa ke semasa apabila memasuki alam pekerjaan sebagai penterjemah. Antara langkah awal yang dilaksanakan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) termasuklah menghantar pelajar tahun akhir dalam bidang ini menjalani latihan industri bagi mengetahui sedikit banyak alam pekerjaan sebenar industri terjemahan.\nMenurut beliau, semasa pandemik dan pascapandemik, terdapat permintaan yang sangat tinggi terhadap industri terjemahan bukan tradisional seperti terjemahan audio, video dan bahasa isyarat. Dengan bantuan teknologi terkini, aktiviti penterjemahan yang dahulunya mengambil masa selama dua hingga tiga hari dapat dikurangkan kepada dua jam hingga tiga jam sahaja.\nNamun begitu, situasi ini juga membimbangkan kerana penterjemah perlu melakukan banyak penyelidikan sebelum menterjemahkan sesuatu bahan kerana penterjemah bukanlah mahir dalam semua bidang. Tekonologi seperti google translate hanya sebagai alat bantuan dan bukan mengambil alih tugas seseorang penterjemah secara 100 peratus kerana faktor budaya dalam sesuatu penterjemahan juga perlu diambil kira.\nBeliau turut menyatakan bahawa teknologi pada masa ini walaupun memudahkan para penterjemah namun ada pihak yang mengambil kesempatan walaupun sebenarnya tidak berkelayakan. Antara cara yang boleh diambil bagi menangani masalah ini termasuklah dengan memprofesionalkan amalan terjemahan dan kejurubahasaan di negara ini.\nDr. Norhazlina Husin selaku panel kedua pula mengulas tentang terjemahan tepat. Untuk menghasilkan sesuatu terjemahan yang tepat, penterjemah perlu mempunyai ilmu terjemahan dan tidak sekadar menguasai dua bahasa yang hendak diterjemahkan itu semata-mata. Penterjemah perlu memahami sesuatu bidang yang hendak diterjemahkannya agar hasil terjemahan itu sama seperti acuan dalam bahasa asalnya.\nPara mahasiswa dalam bidang terjemahan perlu banyak menimba ilmu tentang ilmu terjemahan dan sentiasa berani mencuba. Hal ini kerana terjemahan bukan hanya melibatkan aspek linguistik semata-mata bahkan perlu memahami pandangan dan budaya sesuatu masyarakat. Para penterjemah tidak boleh hanya bergantung kepada satu sumber semata-mata ketika menterjemah. Pihak IPT boleh mewujudkan suasana industri melalui pembelajaran kolaboratif.\nBeliau juga berkata, terdapat pelbagai cabaran dalam industri terjemahan. Antaranya termasuklah teknologi itu sendiri. Walaupun teknologi memudahkan penterjemah tetapi ada segelintir yang mengambil mudah dengan menggunakan teknologi tersebut semata-mata tanpa menghalusinya sehingga hasil terjemahan tidak tepat.\nSelain itu, persaingan antara penterjemah merupakan antara cabaran dalam industri ini. Terdapat individu yang inginkan wang segera dan mengambil kesempatan dengan menghasilkan terjemahan yang banyak tanpa mengambil kira kualiti terjemahan. Dunia tanpa sempadan kini juga membolehkan individu mempelajari pelbagai bahasa asing dan dapat menguasai bahasa tersebut dalam masa yang singkat. Jadi, mereka rasa sudah layak menjadi penterjemah tanpa mendalami ilmu terjemahan terlebih dahulu sehingga hasil terjemahan kurang tepat. Apabila terlalu banyak orang yang menawarkan khidmat terjemahan sehingga sanggup menawarkan perkhidmatan dengan harga yang rendah menyebabkan nilai harga terjemahan semakin menurun. Situasi sebeginilah yang memberikan cabaran besar kepada industri terjemahan di negara ini.\nTambah beliau, kini khidmat jurubahasa isyarat semakin banyak digunakan. Malaysia perlu mencontohi negara Barat yang tidak membelakangkan golongan kurang upaya kerana mereka juga sebahagian daripada masyarakat Malaysia. Golongan ini sewajarnya juga diraikan dengan menempatkan lebih banyak jurubahasa isyarat di setiap tempat seperti di hospital dan sebagainya. Beliau juga berpandangan agar satu senarai jurubahasa isyarat di negara ini disediakan agar masyarakat lebih mudah untuk mendapatkan khidmat mereka." "Bicara Ilmu: Memasyarakatkan Perbincangan Ilmiah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nWacana ilmiah oleh ahli akademik lumrahnya hanya terbatas di dalam dewan kuliah atau seminar akademik yang ditujukan untuk mahasiswa dan kelompok tertentu. Hal ini demikian kerana sifat wacana itu yang terlalu khusus dan sangat teknikal. Namun begitu, dalam hal yang lebih umum dan asas, perbahasan wacana boleh sahaja dimanfaatkan oleh khalayak. Lebih-lebih lagi jika perbincangan sebegitu dibawa oleh pakar bidang yang bergiat aktif mempromosi kandungan penyelidikan menerusi medium arus perdana.\nDi sinilah peranan Bicara Ilmu, sebuah program bual bicara yang menyediakan ruang untuk ahli akademik berkongsi nyala rasa dan akal fikir dalam suasana yang santai dan segar kepada khalayak umum tanpa \u201cmerendahkan\u201d nilai dan sifat akademik kandungan yang dibincangkan. Program yang dihoskan oleh Azian Mohamed Isa ini memulakan siaran ulungnya pada Khamis, 27 Mei 2021 dengan menampilkan Dr. Ummi Hani Abu Hassan, pensyarah kanan Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.\nDengan judul \u201c\u2018Para Pencari Rumah\u2019: Dari Benang Ilham Menjadi Selendang Karya\u201d, episod ini menyelongkar proses penciptaan cerpen \u201cPara Pencari Rumah\u201d, salah satu cerpen karya Dr. Ummi yang terbit dalam antologi cerpen Seratus Rumah Yang Sunyi (2021) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Cerpen ini bukan sahaja kuat aroma kimchinya malah membawa tema yang unik, sangat terpencil, jauh dan sunyi daripada hingar bingar K-pop dan K-wayang gambar.\nMenurut Ummi Hani, cerpen \u201cPara Pencari Rumah\u201d agak istimewa. Dalam cerpennya ini terdapat unsur interteks setelah beliau membaca cerpen terjemahan Korea-Indonesia karya Kim Ae-ran yang berjudul \u201cKe Toserba\u201d. Katanya lagi, perkara yang mendorong beliau untuk menukang cerpen ini bukanlah disebabkan oleh tema, idea atau penceritaan tetapi lebih untuk mengasah dan mengembangkan teknik penulisan pengarang Korea yang pada anggapannya sangat terkehadapan berbanding dengan teknik penulisan cerpen di Malaysia.\nDalam episod selanjutnya, Bicara Ilmu berpeluang menjemput Dr. Rosmawati Mohamad Rasit, pensyarah kanan Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai tetamu panel. Disiarkan secara langsung pada Khamis, 10 Jun 2021, episod kedua membawa tajuk, \u201cPenulisan Skrip Karya Kreatif Patuh Syariah\u201d.\nPerjuangan Dr. Rosmawati dalam bidang penulisan skrip patuh syariah bukanlah baharu. Hampir 10 tahun beliau berjuang memperkenal dan mengembangkan konsep patuh syariah dalam filem dan drama. Terbaharu, modul penulisan skrip patuh syariah hasil penyelidikan beliau telah pun dibeli oleh KUISCELL Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat milikan penuh Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Malah, hasil kerjasama antara UKM dengan KUISCELL Sdn. Bhd. berjaya memperoleh dana tajaan FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) bagi menganjurkan bengkel \u201cCreativity Never Stops 4.0\u201d.\n\u201cKita sudah penat melihat drama agama yang mengangkat watak orang baik dengan pemakaian baju jubah, memegang tasbih. Orang jahat pula dipertonton dengan perbuatan maksiat yang melampau. Koyakkan lapisan-lapisan ini yang sangat tipikal, skema dan membosankan. Skrip patuh syariah memandang agama dengan dimensi yang luas, ada nilai universal, kemanusiaan dan budaya tempatan. Ada citra Islam yang bersandarkan akidah, akhlak dan syariah,\u201d ujar Dr. Rosmawati.\nProgram Bicara Ilmu bergerak menerusi platform Bicarawara yang diasaskan oleh Hafiz Latiff. Menurut Hafiz, Bicarawara hadir sebagai wahana yang berusaha memberikan kandungan yang berkaitan dengan perbukuan, seni, filem, kewangan, isu semasa, dan budaya. Selain Bicara Ilmu, terdapat empat buah program bual bicara yang diketengahkan, termasuk SembangPis, Secawan Wayang, FaThink dan Otak Duit. Bicarawara membuka ruang kerjasama kepada sesiapa sahaja yang mahu turut serta membangunkan kandungan yang bermanfaat kepada khalayak masyarakat seluruhnya.\n\nSaksikan episod 1 Bicara Ilmu, \u201c\u2018Para Pencari Rumah\u2019: Dari Benang Ilham Menjadi Selendang Karya\u201d, di sini. Untuk episod 2, \u201cPenulisan Skrip Karya Kreatif Patuh Syariah\u201d boleh tonton di sini. Atau, boleh terus ke halaman Bicarawara untuk mendapatkan perkembangan terkini." "Raja Haji Yahya: Tokoh Kesusasteraan Melayu Abad Ke-20\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Tokoh ini tidak terbilang dalam sejarah kesusasteraan Melayu. Tidak seperti Hamzah Fansuri yang mendapat jolokan Penyair Agung dan Tokoh Sufi Alam Melayu. Malah, ramai yang tidak mengetahui peranannya sebagai penulis, pengarang, penggubah dan penyalin cerita lisan atau karya Melayu di Perak. Kehebatan tokoh ini dibicarakan dalam Diskusi Buku Dunia, \u201cIbarat Nyiur Gading: Raja Haji Yahya dalam Sejarah Kesusasteraan Melayu Abad ke-20\u201d pada 14 Jun 2021 di Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nPanel jemputannya, YBhg. Dr. Hasrina Baharum, Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), menyifatkan Raja Haji Yahya ialah seorang tokoh kesusasteraan yang hebat. Maka, tidak hairanlah istilah \u201cnyiur gading\u201d dijadikan perumpamaan yang mengangkat judul buku karangan Profesor Dr. Jelani Harun, pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM) ini.\nPada perkiraan Dr. Hasrina, nyiur gading ialah sebuah perlambangan yang menyiratkan rahsia latar belakang dan salasilah Raja Haji Yahya yang berasal daripada kerabat diraja Perak dan keturunan Syed Hadramaut. Seperti yang diketahui umum, nyiur gading ialah pohon hiasan yang ditanam di laman istana. Ia melambangkan pohon kelapa yang baik dan berguna untuk masyarakat dan lingkungan bangsanya. Maka, bertepatanlah pemilihan istilah itu sebagai simbolik pada kehebatan tokoh yang dikaji tersebut.\nManakala panel kedua, YBhg. Dr. Noridah Kamari, seorang penerbit dan pemilik bersama syarikat penerbitan Unggun Kreatif, Singapura, berpandangan bahawa Raja Haji Yahya ialah ikon penulis masa silam yang sangat berjasa sewaktu peralihan penulisan sastera tradisional kepada sastera moden. Raja Haji Yahya diumpamakan seperti sepohon pokok kelapa \u201cnyiur gading\u201d dari istana yang turun ke gelanggang masyarakat umum dan menyumbang kepada kesusasteraan Melayu pada awal abad ke-20 (1900-an).\nMenurut Dr. Noridah, biodata Raja Haji Yahya sangat menarik untuk dikaji dengan lebih mendalam kerana peranannya merakam dan menyusun kembali karya-karya lisan yang disalinnya daripada Pawang Ana, iaitu tokoh penglipur lara Perak, amat terserlah. Salinan cerita-cerita lisan seperti syair, gurindam, cerita kanak-kanak dan juga rakaman penulisan salasilah dan nasab kesultanan dan bangsawan negeri Perak amat berfungsi sebagai sebuah kesinambungan rantaian penceritaan yang menghubungkan cerita-cerita orang lama dengan generasi hari ini.\nLebih menarik perhatian, kisah hidup Raja Haji Yahya amat misteri kerana kehidupan akhirnya tidak diketahui dengan jelas. Hal ini kerana, pusaranya tidak dijumpai. Oleh itu, tidak diketahui bagaimana beliau meninggal dunia. Foto peribadinya sukar ditemui kecuali pada buku yang diterbitkan oleh Sir Richard Olof Winstedt (R.O. Winstedt). Raja Haji Yahya, meskipun daripada lingkungan \u201corang-orang istana\u201d, peranannya sebagai penghulu amat besar. Di sinilah beliau berperanan sebagai penutur cerita-cerita lisan dan mempunyai hubungan rapat dengan rakyat dan juga berperanan sebagai perantara antara rakyat dengan raja.\nMelalui kajian yang dijalankan oleh Prof. Jelani dalam buku setebal 145 halaman itu, R.O. Winstedt banyak menulis kenangan beliau bersama-sama Raja Haji Yahya serta pengalamannya bekerjasama dengan Raja Haji Yahya dalam penulisan kajian sastera Melayu lama. Sir R.O Winstedt pada ketika itu berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir British di Semenanjung Tanah Melayu dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Beliau fasih berbahasa Melayu dan menulis Jawi, serta mendapat bimbingan daripada pegawai kanan dan residen British. Pada tahun 1924, sewaktu menjadi Pengarah Pendidikan Negeri-negeri Bersekutu, beliau menggunakan hasil karya Raja Haji Yahya untuk menghasilkan buku ilmiah berkaitan pendidikan dasar di sekolah.\nBual bicara yang dikelolakan oleh Muhd Norizam Jamian ini menjadi semakin rancak apabila kupasan demi kupasan tentang hasil karya Raja Haji Yahya diutarakan oleh dua panel tersebut dengan panjang lebar. Ujar Dr. Hasrina, \u201cRaja Haji Yahya ada menulis salasilah keturunan raja-raja negeri Perak dan ahlil bait di negeri Perak, cerita-cerita jenaka, cerita haiwan, peraturan adat istiadat Melayu di Perak, syair seperti \u2018Syair Raja Haji Yahya\u2019, Hikayat Pelanduk (1909), dan kisah teladan seperti \u2018Musang Berjanggut\u2019\u201d. Kenyataan ini disokong oleh Dr. Noridah, malah beliau menambah bahawa Raja Haji Yahya menulis cerita-cerita lisan yang diperolehinya daripada Pawang Ana, antaranya termasuk kisah \u201cPak Pandir\u201d, \u201cPak Kaduk\u201d, \u201cLebai Malang\u201d, \u201cSi Luncai\u201d, dan \u201cPak Belalang\u201d. Raja Haji Yahya juga berjaya menyalin sejumlah 700 halaman hikayat-hikayat sastera Melayu lama, iaitu Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Malim Deman, Hikayat Raja Muda, Hikayat Anggun Che Tunggal, dan Hikayat Malim Dewa.\n\u201cSeterusnya, naskhah manuskrip tersebut diserahkan kepada Sir R.O. Winstedt untuk diterbitkan oleh Methodist Publishing House (MPH) pada tahun 1908 di Singapura. Jelani Harun menyifatkan dalam kajiannya, kemungkinan besar Raja Haji Yahya terbabit dalam urusan penyuntingan atau editorial, dan melakukan penambahan dari sudut tatabahasa semasa menghasilkan penulisan buku itu. Kisah-kisah yang dibukukan ini tebal dengan kritikan sosial daripada masyarakat terhadap golongan feudal dan agama tentang sistem masyarakat pada zaman dahulu kala,\u201d jelas Dr. Noridah.\nSumbangan besar Raja Haji Yahya dalam kesusasteraan Melayu lama seperti syair, gurindam dan seloka telah diterbitkan oleh R.O. Winstedt pada tahun 1934, meskipun selepas Raja Haji Yahya meninggal dunia. Hal ini menunjukkan betapa akrabnya jalinan persahabatan antara Raja Haji Yahya dengan R.O. Winstedt sehingga karya-karyanya masih dikenang.\nPerkataan-perkataan dan ayat demi ayat dalam karya Raja Haji Yahya melambangkan diri dan pengalaman hidupnya serta latar kawasan tempat tinggalnya yang kaya dengan hutan, pergunungan, flora dan fauna, dan kesusahan hidup pada zaman awal Tanah Melayu. Langgam bahasa yang ditulis dalam syair-syairnya turut mendedahkan identitinya sebagai salah seorang yang begitu lembut dan berhemah dalam tutur kata. Misalnya, beliau menulis syair tentang perlambangan haiwan seperti pipit dengan helang, harimau dengan kambing, puyuh dengan cenderawasih, dan kucing dengan tikus, yang dilihat sebagai kritikan sosial yang sinis namun berhemah.\nAntara petikan syair beliau yang menarik dibaca adalah seperti berikut:\nKepada fikiran sesak dan walang,\nMemandang pipit menggonggong helang,\nSa-lama harimau tiada berbelang,\nDi-atas tengkok-nya kambing berjulang.\nPerlambangan dalam petikan ini tidak dapat dipastikan oleh pengkaji kepada siapa sebenarnya syair ini ditujukan. Namun begitu, petikan syair ini memperlihatkan bayangan kuasa besar yang sudah hilang \u201ctaringnya\u201d.\nDr. Noridah menyifatkan sumbangan Raja Haji Yahya amat besar dalam usaha melestarikan karya klasik, malah banyak pedoman yang dapat diambil. Katanya, \u201cGuru-guru pendidikan awal kanak-kanak dan di sekolah rendah khususnya, perlu perkenalkan dan gunakan hasil karya Raja Haji Yahya, seperti cerita kanak-kanak dan jenaka dalam bentuk yang relevan dengan umur mereka, kerana dapat memberikan kecintaan pada bangsa dan agama.\u201d\nPeminat karya sastera Melayu tradisional boleh dapatkan naskhah ini di Amazon, Shopee, Kawah Buku dan toko buku lain di seluruh negara. Program Diskusi Buku Dunia ini boleh ditonton di sini." "Idealisme Pengarang dan Pengarah Capa Rengat Gulai Rawo\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDua cerpen disatukan dalam sebuah telefilem RTM. Ikuti catatan karyawan DBP, Nor Muhamad, bagaimana detik awal idea ini mula ditimbulkan, pertemuan serampang dua mata dengan pengarang asalnya, Baharuddin Kahar, dan semangat usaha sama pengarang dengan pembikin telefilem yang mewujudkan proses pengkaryaan yang luar biasa.\nGabungan adaptasi dua cerpen sebegini rupa ialah usaha kali pertama yang pernah dibuat oleh RTM, dan mungkin di Malaysia. Hal ini merupakan suatu sejarah dalam dunia pengadaptasian karya sastera.\nCerpen \u201cCapa Rengat\u201d, salah satu cerpen dalam naskhah Siri Kumpulan Cerpen Pilihan Abad Ke-20, Capa Rengat (DBP, 2005), telah terpilih untuk diadaptasikan ke dalam bentuk telefilem oleh Unit Drama TV, Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun lalu. \u201cCapa Rengat\u201d ialah sebuah kisah tentang watak \u201cAku\u201d, iaitu seorang remaja yang baru merasai suasana indah kehidupan di desa. Pergolakan jiwa tercetus setelah Aku perlu pulang semula ke bandar, dan pada pemikirannya, kepulangan ke bandar menyebabkan dirinya berasa sunyi dan tiada sesuatu yang dapat memberikan keindahan padanya. Bunga capa rengat pula dianggap sebagai perlambangan sebuah janji atau ikatan antara dua sahabat, iaitu Aku dengan Su. Cerpen ini juga membawa beberapa persoalan tentang perasaan cinta, anugerah Tuhan (keindahan flora dan fauna), dan menghargai tempat asal usul sesebuah komuniti masyarakat.\n\u201cCapa Rengat\u201d pernah menjadi teks dalam antologi teks komponen sastera dalam Bahasa Melayu (KOMSAS). Cerpen ini juga pernah tersiar dalam majalah Dewan Sastera pada isu bulan Oktober 1976. Satu usia yang agak lama untuk karya ini, namun masih relevan kerana jalur ceritanya sesuai dijadikan teladan buat generasi kini. Aspek kesesuaian karya untuk diadaptasi juga dinilai oleh pengarah drama. Karya asal pengarang dipilih berdasarkan kekuatan dan keistimewaan yang ada. Pemilihan itu tidaklah dipengaruhi oleh sesiapa, melainkan penghayatan dan \u201crasa\u201d oleh pengarah itu sendiri terhadap karya asal.\nMaka, pada 28 hingga 29 Februari 2020, telah diadakan pertemuan mesra antara pengarah telefilem, Wan Afzam Wan Daud; pengarang, Baharuddin Kahar atau lebih mesra dipanggil Pak Baha; mantan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Mohamad Shahidan; serta karyawan DBP, Nor Muhamad Mat Zain dan Mohd Hafizi Ahmad. Pertemuan ini antara kaedah dalam rangka membentuk kesepakatan untuk olahan idea karya cerpen \u201cCapa Rengat\u201d dengan \u201cGulai Rawo\u201d bersama-sama pengarangnya. Pertemuan antara pengarang dengan pengarah drama membolehkan idea tersebut diperluaskan. Sebagai karyawan DBP dan orang muda, yang hanya mengenali penulis melalui karyanya berasa begitu bertuah kerana diberi peluang berharga untuk bertemu mata dengan pengarang \u201clama\u201d dan unggul itu.\nPerbincangan awal untuk menyatukan kedua-dua cerpen dalam sebuah telefilem juga telah dibuat terlebih dahulu bersama-sama Rahayu Wahid, Penolong Pengarah Unit Drama TV; Julia Henry Alani, Ketua Editor Bahagian Buku Sastera, DBP; serta beberapa orang karyawan DBP dan pegawai RTM. Setiap karya tersebut dibincang dan \u201cdibedah\u201d jalan ceritanya, mencari titik perbezaan dan persamaan antara kedua-dua karya cerpen. Saat itu juga dibincangkan tentang penerbitan semula buku cerpen Baharuddin Kahar bagi judul baharu, iaitu Capa Rengat Gulai Rawo dengan penambahan tiga buah karya baharu oleh Pak Baha. Karya baharu penggarang dalam naskhah ini ialah \u201cAmanah\u201d, \u201cJangan Ikut Hati\u201d dan \u201cSurat Cinta Pertama\u201d. Cerpen sedia ada yang dikekalkan pula ialah \u201cCapa Rengat\u201d, \u201cRindu\u201d, \u201cKelah Sisik Merah\u201d, \u201cKesasar\u201d, \u201cKebesaran\u201d, \u201cKampung Halaman\u201d, \u201cSudah Besar\u201d, \u201cMerah Jambu\u201d, \u201cLongnya Laku\u201d, \u201cGulai Rawo\u201d, \u201cTerima Kasih, Tuhanku\u201d, \u201cPanggilan\u201d, \u201cLagu Seorang Tua\u201c, \u201cBah Urei\u201d, \u201cSempana Ganja Iras\u201d, \u201cPada Suatu Dimensi\u201d, dan \u201cKebencian\u201d.\nKarya yang terpilih dalam naskhah ini juga telah terbukti kejayaannya melalui pengiktirafan. Misalnya, cerpen \u201cLongnya Laku\u201d berjaya memenangi Hadiah Cerpen ESSO-GAPENA 1981, manakala \u201cCapa Rengat\u201d (1976/1977), \u201cSempana Ganja Iras\u201d (1982/1983) dan kumpulan cerpen Terima Kasih, Tuhanku (1984/1985) memenangi Hadiah Sastera Malaysia (HSM, kini Hadiah Sastera Perdana Malaysia).\nMenariknya, Wan Afzam nampak persamaan yang halus ketika hendak menggabungkan dua cerpen Pak Baha itu sebagai sebuah karya telefilem. Gabungan \u201cadaptasi\u201d dua cerpen sebegini rupa ialah usaha kali pertama yang pernah dibuat oleh RTM, dan mungkin di Malaysia. Hal ini merupakan suatu sejarah dalam dunia pengadaptasian karya sastera. Malah, hal ini kelihatan sukar tetapi mungkin mudah bagi mereka yang mahukan cabaran dan kelainan.\n\u201cBoleh, tapi sesuaikah? Sebab jalan ceritanya berbeza.\u201d Pak Baha memulakan pertanyaan.\n\u201cPandangan saya, kedua-dua cerpen ini ada nilai tersendiri, dan ada \u2018sesuatu\u2019 yang membolehkan karya ini disatukan, dan cerpennya ini seakan-akan sama dengan mesej yang mahu disampaikan oleh Pak Baha. Barangkali saya salah. Namun begitu, inilah tujuan kami hadir untuk dapatkan \u2018sesuatu\u2019,\u201d jelas Wan Afzam.\n\u201cMana yang sama, mana yang beza?\u201d tanya Pak Baha.\n\u201cSama latar masanya, dan ada persamaan antara setiap perwatakan watak. Yang berbeza pula pada jalan ceritanya dan mesej yang ingin disampaikan. Tapi, jalinan antara karya ini lebih memberikan persamaan dan ada kesinambungan. \u2018Capa Rengat\u2019 dan \u2018Gulai Rawo\u2019, cerita yang mudah saya faham, tidak rumit. Mungkin, sukar itu wujud setelah memikirkan mesej sebenar yang mahu disampaikan oleh pengarang. Rasanya, pengarang ada pemaknaan yang lain sebalik cerita yang disampaikan,\u201d jawab Wan Afzam.\nTanya saya lagi, \u201cKebanyakan cerpen dalam buku ini juga ada persamaan, walau ceritanya berbeza. Latar tempat misalnya. Banyak disebut tentang gunung, bukit, kampung dan hutan. Tapi sangat menarik dan unik. Ada nama Gunung Kapur, Gunung Comel, Gunung Layang yang disebut dalam cerpen \u2018Kebesaran\u2019, \u2018Kampung Halaman\u2019, \u2018Sudah Besar\u2019, dan \u2018Longku Laku\u2019. Paling menarik bagi saya disebutkan nama latar Gunung Kerbau, yang setahu saya dataran itu benar-benar wujud. Tapi nama rasminya ialah Gunung Korbu, di Perak. Sebuah gunung tertinggi di Banjaran Titiwangsa. Pasti Pak Baha mempunyai pengalaman ke dataran tinggi, ke hutan, kerana begitu banyak Pak Baha menyebut latar ini dalam cerpen-cerpen Pak Baha.\u201d\n\u201cYa. Pengalaman hidup.\u201d Pak Baha mengukirkan senyuman.\nWajah pengarang terlihat tenang walaupun sudah berusia. Hal yang pasti, bakat dan daya fikirnya sentiasa sihat dan mempunyai 1001 pengalaman.\n\u201cSebenarnya, kisah dalam cerpen saya ini mudah. Tapi apa-apa yang dibuat ialah proses kreatif yang diwujudkan daripada pengalaman sebenar saya. Hutan dan perkampungan itulah kehidupan awal saya. Orang Asli yang disebut-sebut, itu kehidupan saya bersama-sama mereka. Begitulah ke bukit dan ke gunung. Kebanyakan pengalaman saya diolah ke dalam bentuk penulisan. Namun, tidaklah semua itu kisah sebenar, cuma ada beberapa yang saya masukkan.\u201d\nPada akhir pertemuan kami selama tiga hari dua malam, Pak Baha sampaikan kepada kami sebuah kenyataan tentang mesej tersirat dalam cerpen \u201cCapa Rengat\u201d. Beliau berbisik ke telinga Wan Afzam, \u201cHidup ini sunyi, dan pada akhirnya tetap sepi.\u201d\nProses kreatif pengarah dan pembikin telefilem juga memainkan peranan yang sangat besar dalam menterjemahkan pemikiran pengarang. Kedua-duanya berperanan dan saling mencambahkan idea dan falsafah.\nPada akhir bulan September 2020, diadakan penggambaran telefilem Capa Rengat Gulai Rawo di Sungai Lembing, Pahang selama empat hari. Namun, pengambaran yang dibuat oleh pihak RTM bagi menghabiskan keseluruhan babak mengambil tempoh masa selama lebih kurang 14 hari. Proses penggambarannya singkat dan padat, tetapi memerlukan tenaga yang lebih oleh semua yang terlibat. Bagi karyawan DBP yang turut serta dalam proses pengambaran, melihat sesi penggambaran dan pembikinan untuk tujuan layar televisyen merupakan sebuah pengalaman yang baharu, dan peluang ini tidak akan dapat sekiranya tidak mencari, atau melepaskan peluang untuk menambahkan pengetahuan dalam bidang ilmu yang bebeza. Kehadiran pada ketika itu dibantu oleh mantan DBP, Dr. Hanafi Ibrahim dan Mohamad Shahidan. Merekalah antara \u201corang sastera\u201d yang sering menjadi rujukan bagi mencadangkan karya sastera yang baik, serta membantu dalam usaha menterjemahkan pemikiran pengarang melalui karya mereka. Tambahan pula, kedua-dua insan ini antara teman rapat kepada pengarang, Baharuddin Kahar.\nSetelah menyaksikan pratonton yang diadakan di RTM pada 27 Januari 2021, kami dapat simpulkan bahawa proses kreatif pengarah dan pembikin telefilem juga memainkan peranan yang sangat besar dalam menterjemahkan pemikiran pengarang. Kedua-duanya berperanan dan saling mencambahkan idea dan falsafah. Pengarang dalam bentuk titipan pena dan mesej yang ingin disampaikan (tersurat dan tersirat). Begitulah pula peranan pengarah drama yang menterjemahkan sebuah karya sastera ke dalam skrip lakon layar, lakonan, pilihan lokasi, penataan babak, bahasa badan dan ruang, serta perlambangan yang sesuai dirakamkan. Kadangkala, terdapat beberapa perkara yang tidak serta-merta mengikut teks asal. Pengarah telefilem turut memasukkan elemen dokumentari dalam hasil karyanya, seolah-olah memaparkan keindahan flora fauna dan realiti kehidupan masyarakat Orang Asli yang berada di pinggir desa.\nJelaslah, telefilem adaptasi Capa Rengat Gulai Rawo menyatakan kerinduan yang mendalam, yang menjadi rasa sunyi dan sepi pada detik akhir layarnya. Cinta dan rasa itu tidak dapat diterjemahkan dengan kata-kata yang betul, hanya mampu dialami dengan rasa yang luar biasa. Tayangan rasmi siaran RTM TV1 berlangsung pada 20 Mac 2021 (Sabtu), pukul 9.00 malam. Selain karya ini, telah ada karya Baharuddin Kahar yang pernah diadaptasikan, seperti telefilem Senjakala dan Cerita Adam, yang disiarkan di saluran RTM juga.\nTelefilem Capa Rengat Gulai Rawa boleh ditonton di sini. Beli kumpulan cerpen Baharuddin Kahar yang dibincangkan di sini.\n_________________________\nNor Muhamad Mat Zain atau Nur Muhamad Fansuri seorang pendaki gunung yang tegar dan amat intim dengan alam kehijauan fauna. Hasil makalah beliau pernah disiarkan dalam majalah Dewan Budaya dan Portal Gerbang Borneo. Beliau pernah menjadi editor di Bahagian Buku Sastera, Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan kini merupakan seorang pegawai di Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka." "Mendukung Perjuangan Bersama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTujuh dekad dimangsai\noleh kuasa serakah\nperampok yang direstui\noleh mata-mata dunia\ndan umat dalam kesesatan yang nyata\nbukan penyeksaan yang ringan\nmelainkan penderitaan yang berpanjangan\nsementelahan tetangga seagama\nyang mendakwa menjadi khadam tanah suci dan sekutunya\nberpaling mengabaikan taklif membela golongan yang tertindas\nsebaliknya mencumbui seteru yang nyata\nMaka dalam keterasingan\nperjuanganmu perlu didukung\noleh bani-bani lain meskipun \u2018ajam\nyang masih mengibarkan panji-panji\nkeadilan, kebenaran, erti hak dan maruah\ndan masih dengan keyakinan\nbahawa kemunafikan bukan kemuliaan\ndan kemiskinan bukan harga penghinaan\nBangkitlah sekalian bani\natas nama apa-apa pun\ntanpa nasab anbiya\u2018 sekalipun\nselama pegangan dan tindakanmu\natas lunas risalah dan syariat Ilahi\nPengorbanan di sini dan kini\nialah bekal nanti yang dibawa\nsebagai bukti pengabsahan kalam Allah\n\u201cInnamal mukminuna ikhwah\u201c\nDan bukti kepercayaan sabda Nabi\nbahawa hubungan sesama Muslim\numpama hubungan antara semua anggota pada jasad\nAyuh, tanpa ragu sekalian bani\nbangkit menyertai perjuangan saudara kita di Palestin!" "Sains dan Sastera: Kiambang Bertaut, Kiambang Terapung\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKolumnis Rem Dambul membuat timbang tara keberkesanan usaha melobi antara golongan aktivis sains dengan golongan aktivis sastera demi membangunkan kemajuan masyarakat dan peradaban masa depan.\nGerakan sastera juga mempunyai elemen kiambang, tetapi malangnya bukan kiambang yang bertaut.\nDalam siri pertama kolum ini, saya menulis tentang dikotomi pendidikan yang memisahkan sains dan sastera dalam dua aliran berbeza. Natijahnya, kita melahirkan masyarakat majoriti yang kurang seimbang, dari segi pemikiran lateral (otak kanan) dan literal (otak kiri). Tidak wujud pertemuan harmoni antara sentuhan logik dengan kreativiti, hingga merencatkan kemahiran daya cipta teknologi dan inovasi.\nKali ini, saya mahu menimbangtarakan gerakan sivil antara sains dengan sastera, yang nampaknya turut meneroka kembara yang berbeza. Gerakan sivil dalam konteks ini, merujuk usaha-usaha advokasi (penyokongan) untuk menjadikan dua bidang ini relevan dalam agenda negara. Ya, suatu usaha untuk mengangkat kepentingan sains dan sastera sebagai ramuan utama dalam membangunkan masyarakat dan membina peradaban.\nBagaimana syiar sains dan sastera cuba dimartabatkan di Malaysia oleh komuniti masing-masing, amat berbeza dari segi pendekatan dan keberhasilannya. Gerakan sains bersifat dinamik dan pragmatis; manakala gerakan sastera agak sentimental dan melankolia. Justeru, komuniti saintis selalunya lebih cekap dalam seni advokasi, dan dapat menuai hasil yang lebih pantas. Sedangkan aktivis sastera sering terbuai-buai dengan retorik berpanjangan, sehingga terpasung sekian lama pada takuk yang sama.\nMengapakah demikian? Hal ini berkait rapat dengan semangat solidariti dan kebersamaan. Saya melihat gerakan sains sangat sinonim dengan \u201cbiduk lalu, kiambang bertaut\u201d. Ahli-ahli komuniti ini menggerakkan idealisme mereka dengan kesatuan yang teguh. Sesudah berdebat rancak dengan pelbagai idea dan hujah; mereka akan segera mencari titik pertemuan, seterusnya mengolah strategi pelaksanaan. Barangkali usaha ini serasi dengan disiplin sains yang fitrahnya lebih objektif dan sistematik.\nGerakan sastera juga mempunyai elemen kiambang, tetapi malangnya bukan kiambang yang bertaut. Ia lebih kepada sifat terapung: \u201cpucuk tidak menggapai awan, akar tidak mencecah tanah\u201d. Komuniti sastera mempunyai kegemaran aneh; suka bernostalgia dan mengulang-ulang harapan yang sudah lama berlalu. Mereka juga sukar mencari ruang persamaan, sehingga terpaksa memanjang-manjangkan isu yang tidak perlu, yang sepatutnya boleh ditamatkan dengan singkat. Barangkali hal ini satu pantulan natural daripada ciri sastera itu sendiri \u2013 yang penuh dengan keluk dan rona yang unik serta rencam.\nPendek kata, golongan saintis cergas bekerja dan menawarkan solusi. Golongan sasterawan pula, hebat menulis kertas kerja dan menyuguhi resolusi. Mungkin ada yang mencebik, kenyataan saya ini hanya andaian yang dipacu prejudis, dan bukan realiti sebenar di lapangan. Baiklah, saya mengaku bahawa ini hanya satu hipotesis, yang masih boleh dibahaskan keabsahan atau kebatilannya. Saya sedia menerima kritikan dan reaksi balas dengan hati yang terbuka.\nMari rungkaikan dua kes perbandingan sebagai teras diskusi. Pertama, kita analisis gerakan aktivis sastera dalam pendidikan, iaitu mengangkat subjek Kesusasteraan Melayu (KOMSAS) sebagai teras dalam kurikulum pengajaran dan pembelajaran. Usaha ini dibanding tara dengan advokasi golongan saintis dan teknologis dalam usaha mengarusperdanakan subjek STEM (science, technology, engineering and mathematics). Siapakah yang lebih berjaya? Suara siapakah yang lebih didengari oleh pihak pembuat keputusan dasar pada peringkat tinggi?\nWalaupun advokasi STEM muncul lebih lewat daripada gagasan KOMSAS, namun daya keterlihatan STEM nampaknya jauh lebih bersinar. Pada peringkat nasional, sudah ada Pelan Halatuju Pendidikan STEM yang diperakukan oleh kabinet eksekutif. Daripada keberhasilan ini, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi seterusnya bersepakat untuk menubuhkan Pusat STEM Negara \u2013 yang mendapat peruntukan tahunan, serta sumber tenaga manusia yang khusus untuk menggerakkannya. Adakah KOMSAS berjaya menagih perhatian dan keistimewaan yang setara; atau adakah kesusasteraan semakin suram dan terpinggir di arena pendidikan?\nBaru-baru ini, dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia ke-2, aktivis sastera, bahasa dan budaya yang berhimpun telah menghasilkan beberapa resolusi secara kolektif. Salah satu hasil resolusi yang sungguh novel (baharu atau luar biasa) ialah cadangan penubuhan Majlis Sastera Kebangsaan, yang membawa aspirasi berikut:\n. penubuhan Majlis Sastera Kebangsaan sebagai badan pemikir yang bersifat autonomi, tetapi berakauntabiliti kepada Jabatan Perdana Menteri (dianggotai pelbagai individu berkepentingan). Majlis Sastera Kebangsaan berperanan sebagai pemegang taruh bidang kesusasteraan untuk menyemarakkan pengiktirafan, pengkaryaan, kegiatan apresiasi, penataran bakat, kemahiran dan keilmuan, merancang strategi pemasaran karya di dalam dan luar negara, serta mencipta peluang pekerjaan baharu berasaskan modal insan kreatif dan inovatif.\n(Raja Yusoff Ariffin, eMajalah Dewan Sastera, 19 April 2021)\nPersoalan yang wajib ditanya: siapakah yang akan menjuarai resolusi ini untuk sampai kepada pihak berautoriti yang memegang kuasa keputusan dan mandat pelaksanaan? Sudahkah ada jawatankuasa penggerak ditubuhkan, dan siapakah pengerusi serta ahli yang dilantik? Apakah strategi susulan kepada gugusan resolusi yang telah dikertaskerjakan? Inilah persoalan dasar yang sangat penting, kerana kertas tidak pandai bekerja. Yang mampu mengerjakan hasrat dalam kertas kerja tersebut hanyalah manusia. Kita tidak akan kenyang dengan sekadar berniat mahu menyantap nasi ambang setalam. Kita mesti menyuap, mengunyah dan menelan.\nCita-cita mahu menubuhkan majlis sebegini sudah bercempera dalam pelbagai wacana sastera sejak bertahun-tahun. Barangkali seawal milenia baharu, iaitu permulaan tahun 2000. Sayangnya, hal ini tidak pernah tumbuh lebih daripada sekadar benih impian. Setiap kali ada perhimpunan, sama ada secara berkala ataupun sekali-sekala, komuniti sastera akan mengulang nostalgia yang sama berkali-kali dengan penuh nada melankolik. Idea lama diperbaharui semula hanya dengan sentimen, tetapi bukan dengan tindakan.\nMajlis Sains Negara ditubuhkan sekitar tahun 2015 dan mula beroperasi rancak semenjak tahun 2016 di bawah naungan YAB Perdana Menteri. Sekretariat bagi majlis ini ialah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; tetapi keahliannya merangkumi semua kementerian utama, kerana fungsinya merentas sektor, bidang dan agensi. Proses advokasi penubuhan majlis ini cuma berlangsung lebih kurang setahun, dan tidak bermula dengan rentetan resolusi yang diulang bincang bertahun-tahun. Gerakan dicetuskan oleh sekumpulan saintis dan teknologis menerusi kesepakatan dan kaedah pragmatis. Ekosistem sains sedia ada digali dan dikaji sedalam-dalamnya, lalu dijadikan sandaran dan justifikasi. Kemudian mereka memanfaatkan saluran teknokrat dan birokrat yang memegang mandat sebagai pembuat polisi. Gerak kerja ini menuntut iltizam bersifat tindakan, bukan sekadar semangat berapi-api.\nApakah yang boleh dipelajari oleh aktivis dan komuniti sastera dalam hal ini? Pertama, berjuang mesti dengan fakta, bukan hanya kata-kata. Kita perlu memahami setuntasnya segala asas dan tujuan fundamental terhadap tuntutan. Ekosistem sedia ada yang sedang beroperasi perlu dipetakan untuk mengelak daripada konflik dan pertindihan. Kedua, kita harus menubuhkan secara rasmi jawatankuasa penggerak dengan TOR (bidang tugas atau terms of reference) yang jelas. Ketiga, mengubah mentaliti daripada bersifat kiambang terapung kepada kiambang bertaut. Hal ini sangat kritikal kerana semua advokasi menuntut gerakan secara kolektif, bukan individualistik semata-mata. Justeru, muafakat ialah kunci mandatori kepada semua pintu keberhasilan.\nTulisan ini bukan sinis semberono, dengan tujuan mahu meremeh-remehkan atau merendah-rendahkan komitmen aktivis sastera. Tulisan ini merupakan satu refleksi genting yang menuntut penaakulan bersama. Dalam tradisi Nusantara, tiada sembarang pengalaman atau pernyataan yang boleh dianggap JAHAT, atau sekadar mahu merebahkan bangsa yang ingin berdiri. Kita berpegang pada pesan nenek moyang: yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.\nKalaupun sekiranya seluruh kata dalam tulisan ini buruk, maka sekurang-kurangnya kita boleh membina daripadanya sebuah batas sempadan yang teguh. Tetapi, jika ada terselit sedikit kebaikan, mungkin kita boleh mengutipnya sebagai mangkin untuk mencetuskan perubahan-perubahan yang signifikan dan bermakna.\n_________________________\nRem Dambul atau nama sebenarnya Ramzah Dambul (Dr.) ialah seorang sarjana bidang sains atmosfera; yang gemar berpuisi, melukis dan berfantasi. Dalam dunia utopia, dia seekor murai sastera yang selalu berkicau di perbatasan sains. Antara karya bukunya termasuklah kumpulan puisi Alien Menchari Chinta (ITBM, 2012; Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012/2013),\u00a0Deja Vu Cinta Pencari Katarsis (ITBM, 2014), Dari Cinta kepada Cinta (ITBM, 2015), dan memoir perjalanan Bukan Travelog Haji di Bumi Anbia (Studio Anai Anai, 2017)." "Pahit Manis Tema Cinta dalam Karya Sastera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRaja Yusoff Ariffin meneliti tema paling popular dalam pengkaryaan prosa, iaitu cinta, dan menyelami sifat sejagatnya serta liku-liku masalahnya.\nTema cinta yang membina memang baik kerana karya sastera juga perlu menonjolkan nilai kesejagatan manusia yang menjadi hamba Allah SWT, selain menampilkan keindahan estetika.\nTerdapat pelbagai tema dalam karya sastera, dan antara tema yang sangat terkenal, walaupun ramai yang menganggapnya klise ialah cinta. Apabila cinta dijadikan tema karya, biasanya karya itu sentiasa dibayangi ataupun dikaitkan dengan cinta lelaki-wanita.\nTema cinta lelaki-wanita tidak salah dari segi undang-undang. Kehidupan manusia sendiri pun tidak dapat lari daripada cinta. Walau bagaimanapun, salah jika menganggap hanya cinta lelaki-wanita sahaja yang elok sebagai tema karya sastera. Penulis remaja atau muda yang menyukainya juga tidak wajar membataskan skop cinta yang menjadi tema karya mereka sehingga menjadi sasaran pengkritik.\nNamun demikian, jika seseorang penulis memahami dan melihat cinta dengan skop yang lebih luas, hal ini mungkin mendapat perhatian yang lebih baik daripada pengkritik sastera. Tema cinta sememangnya mempunyai daya penarik yang hebat sekiranya diolah dengan baik. Selain cinta lelaki-wanita, ada juga cinta kepada ayah dan ibu, cinta kepada kerjaya, cinta kepada bangsa, negara dan agama.\nJusteru, cinta boleh dijadikan tema karya. Masalahnya, ramai penulis menggunakan tema cinta lelaki-wanita sahaja. Dalam kebanyakan karya yang diterbitkan, hanya tema cinta lelaki-wanita yang menguasai, malah diolah dengan cara yang tidak menarik pula. Mengapakah skopnya disempitkan?\nKeadaan yang boleh dianggap sebagai krisis ini wajar dibetulkan. Para penulis harus berusaha mencari tema yang boleh menimbulkan kesan yang besar dalam cerita. Mereka harus menyelidik atau mengkaji untuk mendapatkan ketepatan agar cerita yang diolah mampu menggambarkan sesuatu yang hidup, meskipun tidak wujud dalam kehidupan manusia.\nTema cinta yang membina memang baik kerana karya sastera juga perlu menonjolkan nilai kesejagatan manusia yang menjadi hamba Allah SWT, selain menampilkan keindahan estetika. Kita juga sebagai pembaca harus disedarkan bahawa saban hari kehidupan tertakluk pada janji manusia kepada Allah, dan Allah penentu segala-galanya. Dengan mendorong semangat atau mengajar ciri-ciri murni kepada pembaca khasnya, dan masyarakat amnya, banyak pengajaran boleh disalurkan.\nPengertian cinta itu memang luas. Ada yang pasti, ada yang samar-samar. Cinta kepada Allah SWT sahaja yang pasti. Begitu juga cinta kepada Nabi Muhammad SAW, dan alam ciptaan Allah.\nMungkin terdapat tiga andaian mengapa penulis sering mengutamakan persoalan cinta lelaki-wanita sahaja. Pertama, persoalan cinta tersebut lebih hampir dengan diri manusia, lebih dihayati dan lebih menyeronokkan. Kedua, meskipun keindahan bercinta lebih wajar dipaparkan, barangkali penulis sendiri lebih menggemari soal kekecewaan dan kepedihan yang dialami oleh watak-watak rekaannya. Ketiga, adakalanya cerita sedemikian berkaitan dengan diri mereka sendiri \u2013 biasanya cerita yang menjadi nostalgia penulis atau pembaca. Mereka sendiri biasa mengalami peristiwa yang diceritakan, dan dengan demikian dapat lebih menghayati peristiwa tersebut.\nJadi, penulisan bertemakan cinta pasti mudah diolah dan disampaikan, sesuai dengan kehendak pembaca. Namun begitu, persoalan yang amat menghairankan ialah, meskipun semua itu boleh dipaparkan semula dengan penuh perasaan, tetapi prosesnya tetap sukar apabila diolah dalam karya untuk dihayati oleh pembaca.\nTema cinta memang masih terkenal dan laris. Tema ini secara tidak langsung turut mempopularkan pengarang, dan melariskan karyanya. Walau bagaimanapun, hal ini tidak memberi banyak manfaat kepada si pembaca yang sebahagian besarnya para remaja yang sedang mencari pedoman hidup.\nGejala penulisan novel popular dengan tema cinta memang sudah lama dan masih melanda dunia sastera tanah air. Sebenarnya, penulis dan penerbit yang menangani karya popular dan komersial sebegini tidak memberikan sumbangan yang bermakna kepada dunia sastera negara. Mereka sebaliknya akan menghanyutkan dunia sastera tanah air daripada menuju ke matlamatnya yang sebenar. Sudah tentu hal ini tidak boleh dibiarkan berterusan. Penulis harus meluaskan skop dan pengertian mereka dalam pemilihan tema karya.\nWalau bagaimanapun, kritikan ini lebih merupakan saranan untuk kebaikan bersama. Setiap penulis tidak dapat dipaksa untuk mengikutinya. Cuma yang penting, kita perlu berharap dan terus memberikan saranan untuk mengelakkan pengkaryaan yang klise. Sememangnya, dinyatakan sekali lagi bahawa bukanlah cinta lelaki-wanita tidak boleh dijadikan tema langsung dalam pengkaryaan, namun penulis haruslah memaparkannya dengan cara yang indah. Jika persoalan cinta itu gagal membangkitkan keindahan gara-gara kelemahan penulis menggunakan gaya olahan yang menarik, hal ini pasti akan membantutkan perkembangan genre dalam tema cinta. Malah, seakan-akan penyeleraian ceritanya sudah dapat ditebak. Inilah antara kelemahan dalam memilih tema cinta lelaki-wanita.\nPenulis bebas, Norazimah Abu Bakar apabila ditanya sama ada menggemari tema cinta lelaki-wanita atau tidak, memberitahu dia sudah jarang menulis kisah bertemakan cinta sesama manusia.\n\u201cPengertian cinta itu memang luas. Ada yang pasti, ada yang samar-samar. Cinta kepada Allah SWT sahaja yang pasti. Begitu juga cinta kepada Nabi Muhammad SAW, dan alam ciptaan Allah,\u201d tambahnya, yang telah menghasilkan tiga buah buku dengan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.\nDengan kenyataannya itu, dapat difahami bahawa Norazimah yang juga Setiausaha Kerja GAPENA, tidak lagi cenderung pada tema cinta lelaki-wanita, bukan sahaja dalam karyanya, malah daripada pembacaan karya penulis lain.\nSementara itu, wartawan sebuah portal terkemuka tanah air, Arif Atan berpendapat, jika mahu mengelakkan klise dalam tema cinta lelaki-wanita, ceritanya boleh menampilkan watak yang mempunyai minat yang serupa.\n\u201cSebagai contoh, pasangan kekasih sama-sama terlibat dalam gerakan memelihara alam sekitar,\u201d jelas Arif.\nMantan siswa Universiti Malaya ini turut mengambil novel Cinta Hari-hari Rusuhan karya Faisal Tehrani sebagai contoh, kerana tema cinta lelaki-wanitanya tidak klise, dan disulam dengan pergelutan gerakan mahasiswa mendepani isu masyarakat semasa.\n_________________________\nRaja Yusoff Ariffin atau Raja Yusoff Raja Ariffin dilahirkan pada 21 Ogos 1962 di Pulau Tiga Kanan, Parit, Perak. Beliau menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Raja Yusoff merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur, rakan Tajulmedia Melayu dan pernah menganggotai PAKSI. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun \u201cBeraya di Kampung Warisan Melayu\u201d Satu Property (2020)." "Alam dalam Dunia Puisi Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Webinar Puisi Alam mengetengahkan pembicara, iaitu Dato\u2019 Seri Ir. Dr. Zaini Ujang (Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air atau KASA), Profesor Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman (Jabatan Kesusasteraan Melayu Universiti Malaya serta Pemenang Anugerah Akademik Negara) dan Mohd Khair Ngadiron (Pengerusi International Islamic College) sebagai moderator. Webinar tersebut bersiaran secara langsung melalui Facebook langsung KASA pada 19 Jun 2021, pukul 11.00 pagi hingga 12.30 tengah hari.\nBual bicara ini membincangkan alam yang menjadi tema utama penulisan puisi. Dr. Norhayati memulakan bual bicara dengan menyampaikan sebuah petikan perbilangan berkaitan dengan alam yang memberikan motivasi kepada khalayak dalam menuntut ilmu. Ungkapan tersebut berbunyi:\nPenakek pisau seraut\nAmbil galah batang lintubong\nSeludang ambil ke nyiru\nSetitis jadikan laut\nSekepal jadikan gunung\nAlam terkembang jadikan guru.\nMenurut beliau, \u201cAlam sangat penting dalam penciptaan puisi Melayu\u201d. Beliau memberikan contoh pada kata \u201cMerenung gunung yang tinggi\u201d yang menggambarkan gunung itu sebagai perlambangan kepada cita-cita yang tinggi dan cabaran yang perlu dihadapi dalam usaha menggapai cita-cita yang diingini. Alam dilambangkan sebagai objek utama dalam sesebuah puisi untuk menyampaikan maksudnya yang tersirat.\nSeterusnya, Dato\u2019 Seri Ir. Dr. Zaini pula menyatakan dalam ucapannya bahawa \u201cPuisi alam suatu konteks dalam kerangka pemikiran\u201d. Beliau juga turut mengupas beberapa puisi berkenaan dengan alam daripada Sasterawan Negara, antaranya \u201cPesan dari Hutan\u201d\u00a0karya Muhammad Haji Salleh.\nDalam kupasan bicaranya berkaitan dengan alam puisi dari konteks sastera pula, Dr. Norhayati menyatakan bahawa salah satu konsep alam sastera ialah ekologi. Prinsip ekologi sastera itu adalah seperti yang berikut:\nDato\u2019 Seri Ir. Dr. Zaini dalam ulasannya menyatakan bahawa menulis puisi merupakan satu kebebasan dalam berkarya, tidak seperti sains yang berlandaskan fakta. Puisi boleh menjadikan masyarakat lebih tertib kerana sebelum\u00a0mengeluarkan kata-kata, seseorang pemuisi akan berfikir seribu bahasa, serta mengambil masa yang cukup lama sehingga terciptalah serangkap puisi. \u201cKebanyakan Sasterawan Negara menggunakan isu alam dalam puisi-puisi mereka, seperti Baha Zain yang menulis kerana keadaan seperti berada di sesuatu tempat,\u201d ulas beliau.\n\nBeliau turut menggunakan pendekatan puisi lestari alam dalam setiap penyampaiannya sebagai saluran untuk menerangkan atau menjelaskan sesuatu usaha yang dilakukan dalam konteks yang mudah kepada khalayak. Menjawab soalan moderator tentang penerimaan orang ramai terhadap pendekatan yang digunakan, Dato\u2019 Seri Ir. Dr. Zaini menyatakan bahawa puisi alam mempunyai satu kelainan dan mendapat tempat dalam kalangan orang ramai, sehinggakan beliau sering diundang untuk menyampaikan kuliah tentang alam sekitar.\nDato\u2019 Seri Ir. Dr. Zaini juga turut ditanya tentang tempoh masa yang diperlukan oleh\u00a0beliau\u00a0untuk menulis puisi dalam kesibukan menjalankan tugasan hakiki. Beliau menyatakan bahawa menulis karya perlu cepat, seperti yang diajar oleh guru beliau, Tan Sri A. Samad Ismail. Seseorang tidak perlu menunggu sehingga sampai pada tahap kesempurnaan apabila hendak menulis kerana sempurna itu susah untuk dicapai.\u00a0\n\nDalam soal keindahan bahasa pula, Dr. Norhayati menyatakan bahawa bahasa dalam puisi mempunyai dua sifat. Sifat yang pertama ialah konotasi. Diksinya mempunyai pelbagai makna dan sukar difahami. Pemuisi yang menggunakan sifat ini meminta pembaca menaakul karya yang ditulis oleh mereka. Manakala bagi sifat denotasi, bahasanya tidak mempunyai maksud yang berlapis-lapis, sebaliknya mempunyai kata-kata yang mudah difahami.\nSebelum mengakhiri webinar tersebut, Dato\u2019 Seri Ir. Dr. Zaini Ujang turut berkongsi nama karya terbaharu beliau, Dari Penjuru Sofa, iaitu puisi yang tercetus sewaktu musim Pandemik COVID-19 yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka yang dibicarakan menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP, pada 7 Jun 2021.\nSiaran tersebut boleh ditonton di sini." "Mengungguli Legasi Sastera Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\n\nSempena 65 Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka: Aksara nan Hidup Sepanjang Zaman, Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi menyelongkar pelayaran 65 tahun Dewan Bahasa dan Pustaka di atas samudera sastera kebangsaan, menemui pangkalan kejayaan dan tanda sejarahnya.\nTak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, peranan dan sumbangan DBP dalam usaha membina dan mengembangkan sastera berbahasa Melayu pada peringkat serantau, sekali gus di persada antarabangsa pula, memang sudah diakui oleh pelbagai pihak.\nSeyogianya, tiada sesiapa pun harus menafikan betapa besar dan bermaknanya peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam mengungguli pembinaan dan pengembangan sastera Melayu, serta sastera kebangsaan di negara ini. Bahkan pada peringkat serantau dan dunia sekalipun, DBP tiada duanya sejauh yang berkaitan dengan pembangunan dan pelestarian persuratan Melayu.\nAlkisah, sedari tahun 1956 hinggalah 2021, malahan untuk tahun-tahun mendatang yang lebih mencabar, DBP tidak pernah alpa akan tanggungjawab dan kebertanggungjawabannya memastikan harkat sastera Melayu senantiasa diutamakan, sekali gus menjadi agenda penting dalam pembentukan serta pelaksanaan pelbagai dasar pembangunan kerajaan, khususnya yang berkaitan dengan pembangunan modal insan, kemajuan pendidikan bangsa dan industri kreatif negara.\nHatta, bak kata orang-orang tua, sudah terang lagi bersuluh. Ceritera unggul DBP begitu terserlah dalam pembinaan, pengembangan dan pengiktirafan sastera. Ratusan penulis telah dibina dan dikembangkan bakat kepengarangan mereka melalui pelbagai aktiviti perbengkelan seperti Minggu Penulis Remaja dan sebagainya yang dianjurkan saban tahun.\nDBP juga telah dan akan terus mengadakan pelbagai program penggalakan dan pengiktirafan seperti Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan lain-lain lagi yang sudah terbukti memberikan manfaat yang tidak ternilai harganya. Mana mungkin sumbangan bakti DBP dalam usaha mengangkat harkat sastera dan martabat sasterawan lewat Anugerah Sastera Negara (ASN) yang kini mencecah bilangan Sasterawan Negara yang ke-14 dipandang sepi, kerana itu juga hasil perjuangannya sejak sekian lama. Lebih manis lagi, tujuh orang daripada 14 Sasterawan Negara itu, datangnya daripada DBP\u2014suatu manifestasi betapa warganya bukan sekadar pengurus sastera, tetapi juga golongan karyawan yang berbakat besar dalam bidang kepengarangannya.\nDalam pada itu, barangkali, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa DBPlah satu-satunya penerbit buku sastera dalam bahasa Melayu terbesar di dunia. Ribuan judul buku sastera yang meliputi aneka genre novel, puisi, cerpen, drama, kajian sastera, dan esei kritikan telah diterbitkan. Lagipun, tanpa berlebih-lebihan, DBPlah yang banyak menerbitkan berbagai-bagai judul buku rujukan dan ilmiah yang meliputi pelbagai genre sastera, termasuk sastera tradisional dan klasik, yang tidak diendahkan oleh penerbit-penerbit lain; yang tentu sahaja dipengaruhi oleh faktor pulangan ekonomi yang tidak memberangsangkan. Namun, DBP atas dasar kebertanggungjawaban sosial dan moralnya, mengambil tanggungjawab itu untuk memastikan khazanah ilmu dalam bidang sastera tidak kering kontang.\nMaaf cakap, perlu juga disebut, ketika penerbit-penerbit lain tidak begitu mempedulikan perihal penampungan karya-karya penulis Malaysia melalui penerbitan majalah, kendatipun tiada pulangan ekonomi yang menjanjikan, DBP kekal dengan legasinya menerbitkan majalah-majalah serta jurnal sastera, khususnya Dewan Sastera, Tunas Cipta\u00a0dan Malay Literature. Tambahan pula, khusus untuk penulis Sarawak dan Sabah, DBP menyediakan peluang dan ruang untuk mereka terus menyemarakkan perkembangan sastera akhbar melalui ruangan Yang Indah Itu Bahasa, Wadah Bahasa dan Sastera, dan lain-lain. DBP malah turut menampung penerbitan karya para penulis dan sasterawan dalam majalah-majalah non-sasteranya yang lain, seperti Dewan Siswa, Pelita Bahasa, Dewan Bahasa, Dewan Budaya, Dewan Masyarakat, Dewan Tamadun Islam, Dewan Kosmik (dalam cereka sains), dan Dewan Pelajar.\nSesungguhnya, DBP ialah satu-satunya penerbit yang amat menjaga kepentingan dan kebajikan penulis dan sasterawan, khususnya dari segi pembayaran royalti dan honorarium. Buktinya, pada tahun 2019 sahaja, DBP telah membayar RM675 878 honorarium kepada para penulis dan sasterawan yang menyumbangkan karya yang diterbitkan dalam 11 buah majalah dan empat buah jurnal DBP. DBP juga telah membayar sekitar RM6.8 juta royalti kepada para penulis dan sasterawan yang buku-buku mereka telah diterbitkan oleh DBP.\nTak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, peranan dan sumbangan DBP dalam usaha membina dan mengembangkan sastera berbahasa Melayu pada peringkat serantau, sekali gus di persada antarabangsa pula, memang sudah diakui oleh pelbagai pihak. Penubuhan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) pada 12 Ogos 1996 yang satu daripada negara anggota pendirinya ialah Malaysia, turut menyerlahkan peranan DBP untuk membina dan mengembangkan sastera berbahasa Melayu yang melangkaui sempadan geopolitik antarnegara. Satu daripada program berimpak tinggi yang memberikan pengiktirafan kepada penulis dan sasterawan Malaysia yang telah menghasilkan karya bertaraf rantau dan bermutu dalam satu-satu tahun penilaian ialah Hadiah Sastera MASTERA.\nBarang diingat, DBP juga merupakan urus setia bagi SEA Write Awards (Anugerah Penulis Asia Tenggara) Malaysia, di samping mengadakan berbagai-bagai aktiviti penterjemahan dan diskusi karya penulis serta sasterawan Malaysia secara kerjasama dengan pelbagai pihak di dalam negara dan di luar negara. Aktiviti-aktiviti demikian bukan sahaja dapat meningkatkan harkat kepengarangan mereka, malahan turut membantu penyebaran karya-karya sastera dalam bahasa Melayu di luar Malaysia.\nSatu lagi sumbangan besar DBP dalam bidang sastera adalah dengan melaksanakan berbagai-bagai projek penyelidikan sastera moden dan tradisional yang meliputi pelbagai genre dan bidang kajian, sama ada dilaksanakan oleh DBP sendiri ataupun dengan pelbagai pihak luar. Projek-projek penyelidikan itu cukup penting sebagai pengayaan dan penerbitan pelbagai bahan rujukan, sekali gus sebagai usaha pendokumentasian dan pelestarian bahan-bahan sastera.\nSelain itu, aktiviti-aktiviti seperti bicara karya, kritikan sastera, seminar sastera, bengkel penulisan, sayembara penulisan, baca puisi, pengumpulan serta pendokumentasian tradisi lisan dan seumpamanya, sama ada secara konvensional atau secara dalam talian terus disemarakkan oleh DBP.\nSesungguhnya, selagi DBP tegak di bumi Tuhan, DBP akan terus melipatgandakan dan mengungguli program pembinaan dan pengembangan sastera berbahasa Melayu, baik untuk peringkat negara dan serantau mahupun pada peringkat antarabangsa sebagai legasi untuk generasi-generasi mendatang.\nDewan Bahasa dan Pustaka, dirgahayu\ndirgahayu untuk seribu tahun lagi\nbiar mati berkalang tanah\nberpantang ajal sebelum maut\nbiar putih tulang jangan putih mata\njangan sekali-kali\nkau alpa mengabdikan diri melestarikan:\nBahasa Jiwa Bangsa\nSastera Citra Peradaban Bangsa\nwaima ditentang ribuan petualang\nyang tersesat di belantara nihilisme\ndan terperuk di rimba prasangka.\nAbang Patdeli Abang Muhi\n(Petikan sajak \u201cDirgahayu Dewan Bahasa dan Pustaka\u201d, Yang Menang dan Yang Kalah, BUDIMAN Malaysia, 2020)\n_________________________\nAbang Patdeli Abang Muhi (Dr. Haji) Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau juga banyak menghasilkan kertas kerja, esei kajian dan kritikan, sajak dan cerpen. Abang Patdeli pernah menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2015/2016 bagi eseinya, \u201cMenyoal Peran Kesusasteraan Kebangsaan sebagai Penjana Peradaban Bangsa\u201d yang tersiar dalam Dewan Sastera Ogos 2016. Antara karyanya termasuk kumpulan cerpen Urip (DBP, 2015)." "Mengenal Akiya Menerusi Rakaman Sejarah Orang Asli\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sejarah Orang Asli di Malaysia tidak begitu dikenali. Jika ada sumbernya hanyalah kajian akademik yang kurang sampai kepada rakyat. Orang Asli hanya dikenali sebagai sebahagian kaum di Malaysia dan duduk di pedalaman.\nJusteru, kisah perhambaan dalam kalangan Orang Asli yang berlaku pada kurun ke-17 dan ke-18 tidak banyak diketahui. Hal ini merupakan sejarah lisan yang tidak banyak didokumentasikan.\nNamun, bagi novelis Mahat a/l Cina atau nama penanya Akiya, kisah perhambaan dalam kalangan Orang Asli itu menjadi nadi kepada dua buah novel tulisannya, Perang Sangkil (2007) dan Hamba (2013).\nKedua-dua naskhah ini diperkatakan dalam acara webinar anjuran Pusat Sejarah Rakyat, Writing His Own Culture: Akiya, A Postcolonial Indigenous Storyteller on Orang Asli Enslavement in the Malay World yang berlangsung secara dalam talian pada 21 Jun 2021 8.30 malam. Selain Akiya, acara itu juga menjemput Profesor Adjung Universiti Taylor, Malaysia, Profesor Dr. Wan Zawawi Ibrahim.\nBagi Wan Zawawi, perbincangan beliau lebih tertumpu kepada pemikiran pascakolonial daripada bangsa terpinggir di Malaysia. Katanya, kedua-dua naskhah Akiya itu menyentuh mengenai sejarah bangsa penulisnya sendiri yang menggambarkan harapan dan identitinya.\n\u201cIa mungkin fiksyen tetapi ia juga merupakan suara orang asli yang menuntut jati diri, budaya, maruah dan ilmu,\u201d katanya.\nTegas Wan Zawawi, kisah perhambaan dalam kalangan Orang Asli yang dilarikan dan dijual kepada pembesar pada zaman itu banyak juga direkodkan oleh orientalis, malah turut menjadi sebab mengapa Residen British ke Perak, JWW Birch dibunuh.\nMengikut sejarah, tindakan Birch yang cuba mencampuri amalan pembesar di Perak dilihat sebagai melanggar adat istiadat dan amalan budaya setempat, tetapi hal itu tidak terkandung dalam Perjanjian Pangkor.\nBagi Akiya, novelis kelahiran Tapah, Perak, kedua-dua novel ini saling berkait. Kedua-duanya merakamkan pengalaman orang-orang tua masyarakat Orang Asli yang dikutipnya.\n\u201cUmumnya karya saya fiksyen tetapi ada juga sebahagiannya sememangnya benar-benar berlaku dan dunia perlu tahu mengenai kebenaran itu,\u201d katanya.\nAkiya malah sedikit emosional dalam hal itu walaupun beliau kelihatannya berhati-hati dalam menyuarakan pendapat, \u201cPada sambutan Hari Orang Asal, saya ingin ajak kawan-kawan untuk bertafakur di kubur Birch (JWW Birch) kerana membebaskan Orang Asli daripada perhambaan. Dialah bapa pembebasan orang Asli.\u201d\nMungkin dialog itu terlontar ikhlas dan terpulanglah kepada empunya badan apakah maksudnya. Namun, Akiya juga ikhlas mengungkapkan, Orang Asli tidak ramai yang mahu membangunkan diri. Sebahagiannya sudah berasimilasi dengan masyarakat Melayu dan tidak lagi mahu mengaku Orang Asli, manakala sebahagian lagi berada dalam dunia sendiri.\n\u201cKerajaan banyak memberi bantuan, tetapi kita juga perlu ingat bukan Orang Asli saja perlu dibantu,\u201d katanya.\nHal ini menjelaskan pemikiran Akiya, misalnya dalam naskhah Perang Sangkil, walaupun komuniti Orang Asli berhadapan dengan kumpulan \u201cgob\u201d, iaitu pemburu hamba untuk dijual kepada pembesar, tetapi mereka tidak pula bertindak melawan ketidakadilan itu.\nSebaliknya, mereka hanya melarikan diri dari satu lokasi ke lokasi lain dan jika dibaca naskhah ini, kebanyakannya bercerita mengenai keperluan mengisi perut.\nAkiya ialah penulis yang mempunyai pemikiran yang besar. Sayangnya, naskhah beliau tidak dibangunkan dengan baik sebagai sebuah karya sastera. Namun, hal ini tidak pula menafikan kekuatan pemikiran yang dibawakan, terutama dalam novel sekuel Perang Sangkil, Hamba.\nAkiya kerap muncul dalam landskap sastera kebangsaan ketika beliau masih berkhidmat di RTM, malah karyanya kerap diulas di media arus perdana. Namun sejak bersara, Akiya jarang-jarang muncul.\nMalah beliau sendiri menyebut, ramai penggiat sastera kebangsaan termasuk Sasterawan Negara yang menjemputnya untuk bersama-sama mereka tetapi dia sebagai penulis merasakan karyanya masih kecil dan tidak layak untuk berganding.\nAkiya insan yang rendah diri tidak setanding dengan karyanya yang besar.\nProgram bicara ilmiah ini boleh ditonton di sini. Novel Hamba Akiya boleh dibeli di sini." "Profesionalisme Pengkritik dan Keterbukaan Penyair\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSalman Sulaiman menjelaskan tugas dan peranan hakiki seorang pengkritik sastera dan kesedaran seorang penyair untuk memahami hakikat kritikan.\nAndai kata kalaupun diberikan peruntukan sebanyak RM30 000 agar saya menulis sebuah buku kritikan sajak, adakah kerana nilai itu bermakna saya perlu melakukan hentaman yang paling kuat ke tubuh penyair kita?\nPenulis yang profesional dengan sendiri faham akan kritikan terhadap karyanya tanpa perlu \u201csentap\u201d atau terasa hati, kerana pengkritik yang profesional juga akan hanya mengkritik karya, bukan memusuhi peribadi, menjatuhkan maruah atau mengaibkan; tidak sama sekali.\nYang dikritik ialah karyanya, bukan keperibadian penulisnya. Pengkritik itu mengkritik bukan untuk mencari musuh, tapi untuk perbaiki dan menambah baik karya dan juga, dia menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya agar menulis satu esei kritikan terhadap satu-satu karya atau sekelompok karya. Pengkritik itu juga mengkritik untuk mengangkat sesebuah karya yang baik agar lebih dikenali dan diberi perhatian oleh khalayak sastera dan pengkritik lain. Itu saja. Tidak ada pun niat di hati pengkritik untuk berlagak pandai atau memandai-mandai, kerana kritikan yang dilakukan itu pun dipelajari dan dicontohi daripada para pengkritik terdahulu.\nUntuk mengukuhkan hujahnya, dia boleh saja memetik mana-mana nama pengkritik masyhur daripada Roland Barthes, Jean-Paul Sartre, Jacques Derrida, E.M. Forster, Michel Foucault, Rene Wellek, Austin Warren, Terry Eagleton, Peter Barry, Fredric Jameson, Yuri Lotman, Jonathan Culler, M.H. Abrams, Edward W. Said, A. Teeuw, hinggalah kepada Henry Guntur Tarigan, Nyoman Kutha Ratna, Umar Junus, Ali Ahmad, Mana Sikana, Sohaimi Abdul Aziz, atau sesiapa saja pengkritik yang disukainya. Namun ketika mengkritik, dia tetap juga perlu tegas dengan diri sendiri agar berpegang teguh pada prinsip profesionalismenya sebagai sasterawan-penulis-pengkritik.\nTidak ada faedahnya untuk seorang pengkritik menghentam habis-habisan karya yang dikritik itu hanya untuk RM300, sehinggakan dia terpaksa menggadaikan persahabatan dalam jagat sastera semata-mata kerana duit sebanyak itu. Misalnya, andai kata kalaupun diberikan peruntukan sebanyak RM30 000 agar saya menulis sebuah buku kritikan sajak, adakah kerana nilai itu bermakna saya perlu melakukan hentaman yang paling kuat ke tubuh penyair kita? Tidak sekali-kali saudaraku. Tidak sekali-kali. Saya hanya akan menulis seperti yang pernah saya tulis sebelum ini juga, biasa-biasa saja. Saya hanya akan menegur-kritik apa-apa yang patut dikritik sahaja, sekadar seperti selalu-selalunya juga, tidak lebih daripada itu. Saya hanya mahu sajak-sajak kita akan terus dikaji-baca sampai bila-bila, di mana-mana saja di ceruk penjuru dunia!\nKetika mengkritik, pengkritik perlu buang sifat ego diri yang merupakan bisikan-bisikan jahat yang menghasut di telinganya, seperti \u201caku lebih pandai, karya orang lain semua tak sedap\u201d, \u201ckenapalah tulis bodoh macam ini\u201d atau \u201caku pun boleh tulis lebih baik kalau sekadar begini\u201d. Kita tentu dengan pasti dapat mengatakan pengkritik yang profesional semestinya tidak mempunyai sifat-sifat buruk seperti yang tersenarai.\nKarya saya sendiri terbuka untuk dikritik, tiada masalah. Apabila kita ditugaskan untuk mengkritik, kita juga perlu bersedia karya-karya kita sendiri akan dihentam-ganyang nanti. Silalah, saya menunggu karya saya dicincang lumat, tiada masalah. Tapi sekurang-sekurangnnya, tidaklah saya meluah perasaan macam anak belasan tahun meluah perasaan di majalah sekolah dalam sajak-sajak saya; atau menulis sajak hanya seperti mencatat rasa hati dalam diari peribadi.\nDunia kritikan sajak dalam negara kita sekian lama dipenuhi puji-pujian \u2013 di majalah, kemudian di media baharu seperti Facebook dan WhatsApp. Pengkritik yang ditugaskan menulis esei dalam majalah hanya menerangkan semula sajak tersebut bercerita tentang apa. Ia menjadi ulasan pelajar KOMSAS untuk peperiksaan SPM, bukan kritikan. Ya, itu kita namakan ulasan, bukan kritikan. Menjadikan ramai penyair kita \u201cnaik lemak\u201d dan apabila ada pengkritik yang menegur dengan agak pedas karya tersebut, mulalah ada yang tersinggung dan terasa hati kerana mereka telah sangat lama tidak ditegur dan dibiarkan menulis sajak amat kabur yang sarat klise. Penyair kita tidak biasa dengan kritikan yang sihat dan membina. Mereka hanya asyik dibuai keseronokan kerana karya mereka berjaya mendapat tempat dalam akhbar dan majalah perdana. Dek lama sangat dibuai keasyikan itu, menyebabkan karya yang akhirnya dikritik pedas itu pun tetap tidak berubah kemudiannya. Keluar sajak lain selepas dikritik tajam itu pun tetap klise juga, masih duduk beku dalam gaya lama yang sebelum itu juga. Tetap tidak tengadah juga walaupun terhantuk, sebab lama sangat terperuk lesu-lapuk tidak pernah terhantuk atau dihantuk. Penyair kita jadi agak susah untuk terbuka menerima teguran-kritikan kerana telah lama terperap beku dalam pujian \u2013 dingin dan selesa tanpa perlu tersentak apa-apa. Maka, untuk majalah atau akhbar keluaran edisi seterusnya pun kita akan jumpa (dan baca) sajak yang tepu-statik-klise lagi, dan lagi dan lagi; sehinggakan Abang Jamil sudah entah berapa kali hidup balik, berapa kali mati pun \u2013 penyair kita rata-ratanya masih di situ juga, dengan hal yang itu-itu juga. Sarjana sejati dan penyair mapan yang sungguh-sungguh menulis pun, setelah membacanya entah hendak menangis atau mahu ketawa.\nPenyair kita tidak biasa dengan kritikan yang sihat dan membina. Mereka hanya asyik dibuai keseronokan kerana karya mereka berjaya mendapat tempat dalam akhbar dan majalah perdana.\nTulislah sajak yang benar-benar sajak. Jika tidak yakin mencapai tahap sebuah sajak, simpanlah untuk bacaan sendiri sahaja, tak perlulah \u201cgatal tangan\u201d untuk dihantar ke mana-mana penerbitan atau media cetak. Jika diketatkan disiplin ini kepada diri sendiri, nescaya kita akan semakin banyak mencipta sajak yang lebih berkualiti daripada karya gopoh yang belum cukup matang untuk disiarkan. Memang, kita tidak dapat menafikan keghairahan penulis baharu untuk menembusi media utama tanah air, seperti beberapa majalah dan surat khabar. Namun bersikap tidak sabar, terlalu tergesa-gesa mahu melihat karya disiarkan hanya akan merosakkan reputasi sendiri sebagai penyair apabila karya tersebut belum cukup berkualiti.\nMenulislah untuk keabadian, bukan sekadar untuk bermain-main. Permainan ini serahkanlah kepada budak-budak \u2013 bocah. \u201cAda bocah cilik main kejaran dengan bayangan\u201d pun tidak main-main walaupun ada frasa \u201cbudak bermain\u201d di situ kerana Chairil sedar dia sedang menulis sajak. Penyair kita kena sedarlah, seperti Chairil sedar, orang Kelantan kata \u201ckaba kediri\u201d. Ya, kena \u201ckaba kediri\u201d (kalau dalam teater hal ini dipanggil \u201cilmu kesedaran\u201d). Ilmu kesedaran ini penting dalam bidang-bidang lain pun, termasuk dalam lapangan penulisan sajak.\n\u201cChairil mati pada waktunya yang tepat.\u201d Saya tidak ingat dengan jelas siapa yang berkata demikian, sama ada Sitok Srengenge ataupun Joko Pinurbo. Ingatan saya condong kepada Sitok. Dialah yang mengungkapkan kata-kata tersebut ketika menyampaikan ceramahnya kepada kami para penulis muda Nusantara di sebuah resort pesisir pantai Anyer, Banten pada Julai 2012 \u2013 dengan hujahan bahawa walaupun Chairil meninggal pada usia singkat tapi ketika berada di kemuncak. Sebab itu dia terkenal sehingga hari ini sebagai salah seorang penyair besar Indonesia selain Sutardji, Sapardi, Sitor Situmorang, Taufik Ismail, Goenawan, dan Rendra. Malah, dia dinobatkan sebagai penyair yang mengepalai para penyair Indonesia yang lain \u2013 pelopor Angkatan 45 sebagaimana yang diiktiraf oleh H.B. Jassin (namun kita agak hairan, kenapa Subagio dan Wiji Thukul tidak termasuk dalam kumpulan penyair besar yang disenaraikan oleh Sitok?). Dikatakan \u201ctepat pada waktunya\u201d kerana jika dia masih hidup lagi selepas itu, mungkin sajaknya sudah tidak sedap.\nKesedaran seorang penulis ialah dia perlu bertanggungjawab atas setiap apa-apa yang ditulisnya. Tentu dia akan menulis sebaik mungkin apabila dia sedar setiap tulisannya akan dipertanggungjawabkan. Menjadi kritis itu memang menyakitkan kerana ia memerlukan keberanian. Semua orang boleh menegur saya kira, boleh menjadi kritis. Namun, kesan selepas kritikan itu disiarkan dan kemudian dibaca orang, itu yang menyakitkan. Ada penyair hebat yang menolak untuk mengkritik sajak para penyair lain oleh sebab kesan selepas itulah (siapa mereka, rasanya tidak perlulah saya jelaskan di sini), kerana teguran yang dibuat menuntut keterbukaan. Persoalannya, berapa ramai penyair yang benar-benar boleh menerima teguran pengkritik? Pernah saya membuat sedikit teguran terhadap nama pena seorang penulis dalam esei saya, teguran itu dipertikaikan. Walhal nama pena ialah hal yang sangat penting kerana nama pena juga mempunyai pengaruh yang besar terhadap seseorang penulis. Saya mempunyai alasan kukuh terhadap perkara yang saya kritik, walau dikatakan \u201chanya sekadar nama pena saja pun\u201d. Yang tidak puas hati tentang teguran terhadap nama pena penulis itu, boleh baca lanjut esei saya perihal perkara tersebut dalam \u201cMembina Identiti Atas Nama Sendiri\u201d (Tunas Cipta Julai 2017) untuk mengetahui secara lebih mendalam kewajaran dan hujah-hujah saya berbuat demikian.\nDikatanya kepada pengkritik itu, \u201cHanya dia seorang saja yang betul, orang lain tak betul.\u201d \u201cPengkritik ini perasan dia seorang saja yang pandai,\u201d kata yang lain pula, atau macam-macam lagi kata-kata yang muncul selepas dia menyelesaikan tugasnya sebagai pengkritik. \u201cKawan-kawannya sendiri dipuji, selain itu semua tidak kena dan tidak betul,\u201d kata yang lain lagi. Mungkin juga akan ada yang kata, \u201cPerasan mentang-mentang orang suruh (beri tugas) dia kritik karya orang lain.\u201d\nUntuk mengukuhkan prinsip dan jati diri kepenyairan para penulis muda (dan penulis lama juga) yang ingin meneroka dunia penulisan sajak, saya kira elok ditelaah dua esei kritikan yang dihasilkan oleh dua orang kritikus muda berwibawa ini, iaitu \u201cPaganisme Baharu Sastera\u201d oleh Lutfi Ishak (Berita Harian, 22 Ogos 2015) dan \u201cKejayaan Menumpulkan Pena\u201d oleh Wan Nor Azriq (Mingguan Malaysia, 17 Januari 2016). Saya katakan berwibawa kerana kedua-dua pengkritik ini bukan hanya pandai mengkritik tetapi mereka sendiri menghasilkan karya yang kuat dan bernilai tinggi. Baca dan hayatilah kedua-dua esei ini sehingga ia menyentak anda untuk menghasilkan karya yang bermutu. Jika dibaca dengan tekun dan berniat untuk memperbaiki karya, dua esei ini saya kira memadai untuk memberikan semangat kepada para penyair kita agar tidak main-main dalam proses penciptaan masing-masing dan mereka akan berusaha memperbaiki karya dari semasa ke semasa, bukan membiarkan sajak-sajak yang dihasilkan beku dan tepu di takuk lama.\nKesedaran seorang penulis ialah dia perlu bertanggungjawab atas setiap apa-apa yang ditulisnya.\nEsei Lutfi akan mengingatkan pembaca agar serius dan tidak main-main dalam penulisan sajak. Kerana sajak ialah wacana ilmu, sejak dahulu lagi ia dijadikan suara pujangga untuk berwacana tentang pelbagai perkara. Namun akibat adanya medium yang lebih mudah hari ini di internet, sajak ditulis dengan sewenang-wenangnya sekadar untuk bermain-main. Kata Lutfi, permainan hanya layak untuk budak hingusan. Yang merosakkan lagi taman sastera yang indah ini ialah sikap ego orang yang bermain-main itu, apabila ditegur, orang yang menegur pula yang akan dimarah. Teguran Lutfi ialah satu penegasan bahawa menulis dalam genre apa-apa pun termasuk sajak, adalah bukan kerja main-main. Jika penulis berpegang pada prinsip ini, nescaya dia tentunya akan berusaha untuk menulis sajak yang bukan saja baik, tapi juga berkualiti.\nEsei Azriq akan menyentak penulis agar sedar daripada lenanya dibuai-buai oleh sajak sendiri yang ditulis sebelum ini, yang dirasakan sedap dan mengagumkan para peminat puisi. Sehinggakan dia lupa untuk kekalkan momentum kekuatan dan keindahan sajak itu dalam sajak-sajak yang seterusnya. Oleh kerana itulah, Azriq mengatakan para penyair kita nampaknya sudah berhenti mengasah penanya. Sekali sajaknya dipuji sedap atau menang hadiah, maka penciptaannya akan terhenti di situ. Dia tidak lagi bersungguh-sungguh mencipta. Dia terbuai oleh kemenangan lama, tanpa berusaha untuk mengekalkan kesedapan sajak-sajak baharu seperti sajak-sajaknya yang diiktiraf pada masa lalu. Oleh sebab itulah Azriq mengatakan kejayaan telah menumpulkan pena.\nTidak ramai yang mampu mengekalkan momentum persajakannya seperti Zaen Kasturi yang istiqamah dengan jati diri karya-karyanya yang kuat dan indah berseni. Kekuatan Zaen dalam Katarsis diteruskan dalam 77 Tuju yang diterbitkan beberapa puluh tahun kemudian. Dia konsisten dengan cara dan gayanya yang utuh dan kukuh, tidak berubah. Hal ini terbukti apabila 77 Tuju akhirnya dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2016/2017 bagi kategori A untuk kumpulan puisi. Muhammad Haji Salleh juga begitu. Kemunculannya dengan Sajak-sajak Pendatang pada tahun 1973 yang dipuji oleh Panel Anugerah Sastera Negara 1991 tidak mengubah prinsip dan jati diri kepenyairan Muhammad. Begitulah sajak-sajaknya dalam Salju Shibuya yang terbit pada tahun 2004, hinggalah dalam Setitik Darah di Bilik Bundar pun, dia konsisten dengan cara keintelektualan dan gaya bahasa tanpa irama yang juga indah memikat itu. Malaysia memerlukan lebih ramai penyair seperti Muhammad Haji Salleh dan Zaen Kasturi yang tidak lena dibuai kejayaan ketika berada di puncak kemenangan.\nEsei kritikan yang pedas dan tajam itulah sebenarnya yang diperlukan dalam dunia kritikan kita agar dapat menyentakkan penulis daripada lenanya. Menjentik kesedarannya sebagai pengarang. Esei oleh Lutfi dan Azriq tadi memang pedas, agak tajam dan menghiris. Tajam dan menghiris dengan cara masing-masing. Lutfi dalam kiasannya ada kesinisannya. Azriq dalam terus terangnya ada kebenaran hujah yang tidak dapat disangkal. Kebenaran yang sepatutnya menyentak fikiran dan emosi para penulis, dan penyair khususnya.\nDaripada tulisan-tulisan sebeginilah penyair sepatutnya belajar untuk jadi lebih terbuka, di samping jadi lebih kritis terhadap karya-karya sendiri untuk semakin maju pada masa hadapan sebagai penulis berjaya. Hakikat teguran dan kritikan itu, jika tidak dibuka hati dan fikiran seluas-luasnya, memang pedih dan sangat perit sebenarnya. Penyair yang mempunyai prinsip dan jati diri yang teguh dalam arena penulisan, tentu saja dia akan sangat terbuka dan profesional sifatnya kerana dia bukan menulis sekadar bermain-main atau selesa di takuk lama tanpa memperteguh kaedah kepengarangan sendiri.\nPengkritik pun kebanyakannya, selalunya, dalam kalangan penulis juga. Maka, dia tentu faham apa-apa yang dirasai oleh penulis apabila karyanya dikritik. Dan, apabila mengkritik tentulah dia sangat profesional dalam kerja kritikannya. Penulis yang dikritik itu sendiri pun, jika kualiti sajaknya tidak berubah sejak bertahun-tahun menulis, malah ada yang belasan dan puluhan tahun tidak berganjak daripada gaya lama dan klise; maka wajarlah dia dikritik dengan tajam. Dia patut terbuka menerima kritikan pedas itu dan memperbaiki sajaknya sedikit demi sedikit. Itulah gunanya sifat keterbukaan dalam menerima kritikan.\nTajuk di atas juga perlu diterbalikkan \u2013 keterbukaan pengkritik dan profesionalisme penyair. Sikap profesional dan terbuka juga perlu dimiliki oleh kedua-dua belah pihak, iaitu pengkritik dan penyair. Pengkritik juga perlu terbuka dan penyair pun mesti profesional. Natijahnya, dunia kritikan menuntut dua sikap utama tadi \u2013 profesional dan terbuka; sama ada pengkritik itu sendiri ataupun penyair yang dikritik.\n_________________________\nSalman Sulaiman graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera, Universiti Sains Malaysia (2006). Karya cerpen dan sajaknya memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) tahun 2003, 2004, 2008 dan 2009. Mewakili penulis muda Malaysia ke Program Penulisan MASTERA di Anyer, Banten, Indonesia pada tahun 2012. Menjadi AJK Persatuan Penulis Kelantan sejak tahun 2007 hingga 2017. Beliau telah menulis lima buah buku: Pemain Bahasa, Sebelum Menjadi Penakut, \u2018Ngembara., ALLAH!, dan Nuh, Si Tukang Kayu & Sebuah Perahu. Sajaknya, \u201cIni Tanah Kita\u201d dipilih sebagai teks Kesusasteraan Melayu SPM 2015\u20132019. Pernah menyandang Johan Sayembara Deklamasi Puisi BBK Kelantan 2015 dan menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan dalam Anugerah Sastera Negeri Kelantan 2019/2020. Salman Sulaiman kini merupakan penuntut pascasiswazah bidang Kesusasteraan Melayu Klasik di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris." "Kuasai Pantun Melalui Penghayatan Alam dan Budaya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNEGERI SEMBILAN \u2212 Pantun ialah ciptaan yang paling kreatif dan masih terpelihara sehingga kini. Ciptaannya berdasarkan pengamatan alam waima persekitaran nenek moyang kita. Alam yang terbentang luas dijadikan pedoman. Pantun tradisional juga kaya dengan nilai murni dan budi bahasa yang tinggi. Pemupukan nilai murni inilah diharapkan akan menyerap di jiwa pelajar dan seterusnya mengamalkannya dalam kehidupan seharian.\nSebagai khazanah yang diwarisi secara turun-temurun, pastinya khazanah ini perlu diwarisi dari zaman ke zaman. Semakin maju kehidupan, semakin maju jugalah pantun itu menjadi warisan yang sesuai dengan zamannya dengan pengekalan keindahan dalam elemen pantun. Dalam usaha untuk mewariskan puisi tradisional kepada generasi muda, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyerapkan kemahiran ini dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran(DSKP), Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Secara tidak langsung, para pelajar dapat menghayati dan berfikiran kritis dalam hal ini.\nSehubungan dengan itu, bengkel pantun yang bertajuk \u201cMenguasai Kemahiran Berpantun Melalui Penghayatan Terhadap Alam dan Budaya\u201d dilihat dapat memupuk rasa kecintaan murid terhadap puisi tradisional Melayu. Secara tidak langsung, murid bukan sahaja bijak mencipta pantun dan mempunyai penguasaan kosa kata yang tinggi, malah selaras dengan pembelajaran alaf baharu turut dilatih untuk berfikir aras tinggi (KBAT). Selain itu, bengkel ini turut menjadi wadah pencungkilan bakat murid sebagai pelapis pemantun sekolah.\nBengkel pantun ini yang diusahakan secara kerjasama antara SMKA Sheikh Hj Mohd Said, Seremban, Negeri Sembilan dengan Pengasas Balai Pantun Singapura ini disertai oleh 32 orang murid dan lima orang guru secara dalam talian menggunakan aplikasi GoogleMeet. Melalui bengkel ini, Encik Karmin Abbas, Pengasas Balai Pantun Singapura berkongsi ilmu dengan para peserta mengenai ciri pantun, cara menganalisis struktur pantun, mengarang pantun dan penggunaan aplikasi pantun (AI PANTUN)." "Perihal Penentu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata penentu atau penerang penentu ialah unsur penerang yang boleh hadir di hadapan atau di belakang kata nama untuk membentuk frasa nama. Kata penentu hadapan boleh mendahului inti dan penerang lain pada frasa nama. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a. \u00a0Semua\u00a0peserta hadir.\n1b. \u00a0Semua\u00a0peserta kem bina semangat hadir.\n1c. \u00a0Beberapa\u00a0orang\u00a0peserta ponteng.\n1d. \u00a0Beberapa\u00a0cadangan peserta diberi perhatian.\n1e. \u00a0Dua\u00a0orang\u00a0pegawai cuai.\nDalam kelompok ayat 1, semua penentu hadapan terdiri daripada kata bilangan yang disertai kata penjodoh bilangan atau sebaliknya. Bagi ayat 1a, kata bilangan tak tentu semua\u00a0sebagai penentu hadapan mendahului kata nama peserta. Bagi ayat 1b, kata semua\u00a0mendahului inti frasa nama peserta\u00a0dan penerangnya kem bina semangat. Dalam ayat 1c, kata bilangan tak tentu beberapa\u00a0dan penjodoh bilangan orang\u00a0mendahului kata nama peserta. Bagi ayat 1d, kata bilangan tak tentu beberapa\u00a0tanpa penjodoh bilangan mendahului kata nama abstrak cadangan. Dalam ayat 1e, kata bilangan tentu dua\u00a0dengan penjodoh bilangan orang\u00a0mendahului kata nama pegawai.\nPenentu belakang pula terdiri daripada kata ganti nama tunjuk umum ini\u00a0dan itu. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n2a. \u00a0Buku ini\u00a0tebal.\n2b. \u00a0Pegawai baharu itu\u00a0cuai.\nDalam ayat 2a, kata ganti nama tunjuk umum ini\u00a0sebagai penentu belakang mengikuti kata nama buku. Dalam ayat 2b pula, kata ganti nama tunjuk umum itu\u00a0sebagai penentu belakang mengikuti inti frasa nama nama pegawai\u00a0dan penerangnya baharu.\nWalaupun penentu hadapan berada di hadapan frasa nama, penentu itu masih dapat didahului oleh kata nama dengan atau tanpa penerang. Sila lihat contoh yang berikut:\n3a. \u00a0Jersi semua\u00a0pemain berwarna kuning hijau.\n3b. \u00a0Jersi baharu semua\u00a0pemain berwarna kuning hijau.\nDalam ayat 3a, kata penentu hadapan semua\u00a0yang berada di hadapan frasa nama semua pemain\u00a0didahului oleh kata nama jersi. Dalam hal ini, inti frasa nama bertukar daripada kata nama pemain\u00a0kepada kata nama jersi\u00a0dan frasa nama semua pemain\u00a0bertukar fungsi untuk menjadi frasa penerang. Dalam ayat 3b pula, kata penentu hadapan semua\u00a0yang berada di hadapan frasa nama semua pemain\u00a0didahului oleh kata nama jersi\u00a0dan penerangnya baharu. Dalam hal ini, inti frasa nama bertukar daripada kata nama pemain\u00a0kepada frasa nama jersi\u00a0baharu\u00a0dan frasa nama semua pemain\u00a0berubah fungsi untuk menjadi frasa penerang.\nSebagai unsur pada kedudukan paling hujung sesuatu frasa, kata penentu belakang ini\u00a0atau itu\u00a0tidak boleh diikuti oleh kata hubung relatif yang\u00a0dalam frasa yang sama. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut.\n4a. \u00a0Pegawai yang\u00a0cuai itu\u00a0telah dikenakan tindakan disiplin.\n4b. \u00a0*Pegawai itu yang\u00a0cuai telah dikenakan tindakan disiplin.\nAyat 4a berpola Frasa Nama + Frasa Kerja. Frasa namanya ialah pegawai yang cuai itu\u00a0dan frasa kerjanya ialah telah dikenakan tindakan disiplin. Ayat 4b pula cacat kerana penerang yang cuai\u00a0menyusuli kata penentu belakang itu.\nWalau bagaimanapun, jika rangkaian kata yang cuai\u00a0merupakan frasa nama lain yang berfungsi sebagai predikat ayat, binaan ayat yang berkenaan adalah betul. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n5a. \u00a0Pegawai itu yang cuai.\n5b. \u00a0Pegawai itu pegawai yang cuai.\n5c. \u00a0Pegawai itu ialah pegawai yang cuai.\n5d. \u00a0Pegawai itulah yang cuai.\n5e. \u00a0Yang cuai\u00a0pegawai itu.\n5f. \u00a0\u00a0Pegawai yang cuai\u00a0pegawai itu.\nAyat 5a betul kerana terdiri daripada pola Frasa Nama + Frasa Nama. Frasa nama subjeknya ialah pegawai itu, manakala frasa predikatnya ialah yang cuai. Sebenarnya, rangkaian kata yang cuai\u00a0merupakan frasa nama yang telah digugurkan intinya pegawai\u00a0(ayat 5b) dan kata pemeri ialah\u00a0(ayat 5c). Ayat 5d merupakan ayat songsang dengan pendepanan frasa nama predikat pegawai itu\u00a0yang disertai partikel penegas -lah. Ayat 5e ialah ayat susunan biasa. Ayat 5f ialah ayat susunan biasa tanpa pengguguran inti frasa nama pegawai\u00a0pada rangkaian kata pegawai yang cuai.\nSatu lagi mekanisme untuk meletakkan rangkaian kata yang + Kata adjektif selepas kata penentu belakang dalam ayat yang sama adalah melalui proses aposisi atau parentesis. Hal ini bererti rangkaian kata itu disisipkan secara berderetan dalam ayat sebagai maklumat tambahan dalam ayat majmuk. Sila lihat contoh yang berikut:\n6a. \u00a0Pegawai itu, yang cuai, telah dikenakan tindakan disiplin.\n6b. \u00a0Pegawai itu, (pegawai) yang cuai, telah dikenakan tindakan disiplin.\n6c. \u00a0Pegawai itu, (iaitu pegawai) yang cuai, telah dikenakan tindakan disiplin.\n6d. \u00a0Pegawai itu \u2013 yang cuai\u00a0\u2013 telah dikenakan tindakan disiplin.\n6e. \u00a0Pegawai itu (yang cuai) telah dikenakan tindakan disiplin.\nDalam kelompok ayat 6, rangkaian kata yang cuai\u00a0diselitkan sebagai maklumat lanjut kepada subjek ayat pegawai itu. Hal ini dikatakan demikian kerana rangkaian kata yang cuai\u00a0merupakan frasa nama pegawai yang cuai\u00a0yang sudah digugurkan intinya pegawai (6b). Dalam hal ini, kata perangkai iaitu\u00a0merupakan unsur opsyenal yang boleh juga digugurkan (6c). Penyisipan maklumat tambahan tersebut berlaku dengan diapitkan oleh dua tanda koma (ayat 6a), dua tanda pisah (ayat 6d) dan tanda kurungan (ayat 6e). Selain itu, ayat kelompok 6 merupakan ayat majmuk yang terbina daripada dua buah ayat tunggal, seperti yang berikut:\n7a. \u00a0Pegawai itu telah dikenakan tindakan disiplin.\n7b. \u00a0(Pegawai) yang cuai telah dikenakan tindakan disiplin.\nOleh hal yang demikian, dalam kelompok ayat 6, unsur penghubung atau perangkai antara dua buah ayat tunggal itu bukan kata hubung, tetapi tanda baca dua tanda koma, dua tanda pisah atau tanda kurungan." "Merungkai Sejarah Dua Novel Akiya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cBagaimana Orang Asli mahu menulis, kalau dulu kena lari daripada \u2018sangkil\u2019 (penangkap hamba), sekarang kena risau dengan tanah adat akan dirampas.\u201d Ungkapan pengarang Akiya tersebut bukan tuduhan semberono tetapi realiti sejarah yang perlu dipertimbangkan.\nAkiya atau nama sebenarnya, Mahat a/l Cina menuturkan pandangannya pada siri diskusi webinar, Writing His Own Culture: Akiya, A Postcolonial Indigenous Storyteller on Orang Asli Enslavement in the Malay World anjuran Pusat Sejarah Rakyat. Ikut serta dalam pembentangan ini ialah ahli antropologi Profesor Dr. Wan Zawawi Ibrahim. Wan Zawawi memetakan ruang dan memori sejarah yang cukup traumatik bagi Orang Asli lewat dua karya Akiya berjudul Hamba (2013) dan Perang Sangkil (2007).\nLatar sejarah yang membentuk kedua-dua plot dan ambiens Hamba dan Perang Sangkil menampilkan awal \u201ccampur tangan\u201d British di Tanah Melayu. Dibayangi oleh Perjanjian Pangkor 1874, Tanah Melayu menyaksikan bukan sahaja campur tangan British dalam hal ekonomi, bahkan adat istiadat dan budaya tempatan. Salah satunya: perhambaan. Dikhabarkan, aktiviti ekonomi perhambaan memberikan hasil yang cukup lumayan serta melambangkan status pemimpin, seperti yang dinyatakan oleh Andaya (2017) dan Reid (1983). Kehadiran British di Tanah Melayu bahkan tidak meredakan sekelumit pun perhambaan. Perhambaan tradisi dijalankan sebagai keperluan untuk mendapatkan tenaga kerja bagi mengerjakan sawah padi orang tempatan untuk memastikan kelangsungan sumber makanan cukup. Namun begitu, puluhan ribu pekerja migran masuk ke Tanah Melayu pula bagi memastikan projek imperialisme British berjalan. Perhambaan menjadi \u201cdarah daging\u201d yang mengabsahkan penjajahan.\nKedua-dua novel Akiya merakamkan hal itu. Namun persoalannya, adakah masyarakat semasa bersedia untuk membincangkannya, lebih-lebih lagi didedahkan dalam kurikulum sekolah? Namun begitu, terdapat dua kemungkinan seperti yang dibahaskan oleh Wan Zawawi.\nPertama, meneliti peristiwa Perang Sangkil sebagai sebuah memori kolektif. Tujuannya supaya memahami keganasan yang berlaku ketika \u201cpenjarahan untuk perhambaan\u201d (disebut sebagai \u201csangkil\u201d) yang berleluasa masa itu menyerupai penindasan yang dihadapi oleh Orang Asli sekarang atas pencerobohan terhadap tanah adat mereka secara terus-menerus. Hanya dengan memori kolektif yang membuahkan tindakan kolektif dapat mengelakkan hal ini daripada berulang. Lebih-lebih lagi, negara kini berdepan dengan krisis ekologi yang semakin meruncing.\nKedua, tekad Akiya untuk terus bercerita itu sendiri merupakan satu tindakan politik. Sikap ini suatu manifestasi kewujudan ruang dan memori sejarahnya. Beliau membukakan dirinya untuk menulis peristiwa gelap ini, sekali gus memperbesar kemungkinan menandingi naratif sejarah kontemporari. Naratif secara logiknya tidak bergerak sehala, tetapi berturutan dan pengembangannya tidak pernah selesai. Bahkan, untuk meletakkan pengalaman membaca Akiya seperti membaca naskhah sastera pascakolonial itu sendiri pun sukar. Apatah lagi, puing-puing kolonial yang membenarkan \u201cpenghambaan\u201d itu sendiri masih utuh walaupun dinamiknya berubah-ubah. Oleh sebab itu, karya Akiya perlu ditelesuri jejaknya agar kita, sebagai sebuah masyarakat, menemui dirinya.\nProgram bicara ilmiah ini boleh ditonton di sini. Novel Hamba Akiya boleh dibeli di sini." "Puisi Mekar di Wilayah Timur\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013\u00a0 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, Jabatan Pendidikan negeri Kelantan dan Persatuan Penulis dan Budayawan Kelantan (Pesisir) menganjurkan Program Bimbingan Penulisan \u201cKesusasteraan Melayu Komunikatif (Puisi)\u201c.\nProgram diadakan secara dalam talian melalui penggunaan aplikasi Google Meet. Acara bermula pada pukul 2.00 petang hingga 6.00 petang pada 27 hingga 28 Jun 2021. Program bimbingan ini menghimpunkan seramai 89 orang peserta, iaitu terdiri dalam kalangan guru, pegawai dan individu yang terlibat dengan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif.\nProgram ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para peserta dan membantu para pelajar dalam usaha memupuk kebolehan pelajar, terutama dalam bidang penulisan kreatif. Program juga dapat memupuk bakat pelajar berasaskan kreativiti dan inovasi yang menjadi asas penting dalam industri kreatif di Malaysia.\nDato\u2019 Rahman Shaari, Presiden Persatuan PENYAIR Malaysia dan Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award tahun 2007) menjadi penceramah Program Bimbingan Penulisan selain Tuan Haji Mohd Fauzi Abdullah, Pensyarah Kanan Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM)." "Projek Untapped Hidupkan Kembali Karya Australia yang \u201cHilang\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMelbourne \u2013 Bagaimana Australia memanjangkan kitaran hayat buku di negara itu, yang selama ini mungkin melalui carta alir daripada penerbit, kedai buku dan pembaca, dan kemudian hilang ditelan masa, yang ada kalanya sekitar dua tiga minggu hingga mungkin lima tahun?\nBagi karya sastera yang bernasib baik, mungkin dipancing oleh industri filem tempatan mahupun antarabangsa, tetapi lebih banyak karya Australia mengalami nasib seperti sebahagian besar buku yang memenangi pengiktirafan sastera tertinggi dan berprestij di negara itu, Anugerah Miles Franklin.\nMengikut rekod, daripada 62 karya yang berjaya mengungguli anugerah itu yang berlangsung antara tahun 1957 hingga tahun 2019, sebanyak 23 karya daripadanya belum dipindahkan ke dalam bentuk digital atau e-buku. Malah, 10 daripada karya terbaik sepanjang penganugerahan itu sudah tidak diterbitkan lagi.\nJusteru, pengarang, penyelidik dan perpustakaan di Australia melancarkan projek Untapped: The Australian Literary Heritage Project (Untapped) untuk memastikan karya penting di negara itu tidak hilang di tengah-tengah realiti industri buku konvensional yang kini menghadapi cabaran gelombang digital tanpa menggadaikan hak cipta pengarang.\nPensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Melbourne, Profesor Madya Rebecca Giblin yang mengetuai projek Untapped menegaskan, usaha itu dilakukan kerana kebanyakan warisan sastera Australia sudah tidak dicetak lagi.\n\u201cSekiranya banyak karya pemenang Miles Franklin sudah tidak diterbitkan lagi, bayangkan pula bagaimana kebolehcapaian buku seperti memoir, sejarah serta karya sastera tempatan,\u201d katanya, seperti yang dipetik dalam The Guardian.\nBuat permulaan, projek Untapped menyasarkan usaha mendigitalkan 200 karya paling penting Australia, termasuk I\u2019m Not Racist, But . (2007) karya Anita Heiss dan The Unlucky Australians (1968) tulisan Frank Hardy. Malah, turut disenaraikan ialah karya seawal tahun 1926 lagi, iaitu Working Bullocks karya Katherine Susannah Pritchard.\nGiblin berkata, buku-buku itu merangkumi karya daripada sastera kanak-kanak sehingga buku sejarah dan juga fiksyen sastera.\n\u201cSetiap satu menelan belanja $700 (RM2200) termasuk pembacaan pruf untuk memastikan standard perpustakaan dicapai,\u201d katanya.\nMengikut laman web Untapped, buku terpilih yang diterbitkan dalam bentuk digital itu, akan dilesenkan oleh perpustakaan awam di seluruh Australia, manakala perpustakaan yang menjadi rakan projek berkenaan akan mempromosikannya. E-buku berkenaan turut dijual kepada pembaca.\nProses itu bermula dengan usaha mengesan naskhah penting dengan kerjasama pakar koleksi perpustakaan, Persatuan Pengarang Australia, ejen sastera dan orang perseorangan.\nSelepas karya itu dikesan dan dipilih, proses selanjutnya membabitkan perbincangan dengan pengarang untuk mengetahui status hak cipta atau mendapatkan izin terbit dalam bentuk digital.\nKitaran buku terbabit tidak terhenti begitu sahaja, sebaliknya berdasarkan laman web Untapped juga, kitaran turut melibatkan analisis jualan dan pinjaman tajuk berkenaan untuk memahami kedudukan karya dalam persuratan negara, dan menilai sejauh mana promosi dilakukan serta hubungan antara jualan dengan pinjaman buku.\nProjek itu juga terbuka kepada sumbangan dana awam yang diberikan potongan cukai kepada penyumbang. Menariknya, orang awam boleh memilih sesuatu judul untuk ditaja untuk keseluruhan proses, iaitu merangkumi imbasan, pembacaan pruf, letak huruf dan reka bentuk kulit depan sebagai hadiah atau dedikasi kepada seseorang.\nMungkin Malaysia boleh mempelajari bagaimana usaha mendigitalkan karya sastera penting itu dibuat, apatah lagi isu hak cipta yang berlaku di Australia rupa-rupanya lebih teruk.\nHal ini kerana, kontrak penerbitan di Australia biasanya mengambil tempoh sepanjang hayat pengarang, tidak termasuk dengan tambahan 70 tahun meskipun penerbit tidak semestinya mengulang cetak dalam jangka masa itu.\nWalau bagaimanapun, di Malaysia, kebanyakan karya sastera diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sendiri, manakala sebahagian kecil pula oleh penerbit yang tidak lagi wujud.\nApa yang penting ialah, kesungguhan kita untuk memelihara khazanah kesusasteraan dan persuratan tanah air, yang bukan sahaja perlu dibuat secara terancang, bahkan memanfaatkan teknologi terkini tanpa meminggirkan soal hak cipta pengarang, seperti yang diusahakan dalam projek Untapped." "Puisi untuk Kedamaian Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0 Program Pengucapan Puisi Antarabangsa:\u00a0Kedamaian Dunia bersiaran melalui Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 27 Jun 2021 (Ahad), pukul 9.00 malam. Program ini anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.\nYBhg. Tan Sri Dato\u2019 Sri Hamad Kama Piah Che Othman selaku penaung Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) berucap dan merasmikan program ini dengan tema \u201cKedamaian Dunia\u201d. Beliau berkata, sebanyak 20 negara telah bergabung untuk menyampaikan satu suara kedamaian walaupun berbeza negara, adat dan budaya. \n\nSeluruh dunia mengimpikan kedamaian tanpa mengira sempadan, ruang dan waktu. Katanya lagi, program ini dapat menjadi suara yang dapat menjadi kekuatan untuk terus membina sebuah penghidupan dengan penuh semangat. Selain itu, program ini wajar diteruskan bagi menzahirkan lambang keterbukaan manusia terhadap pelbagai inspirasi dan perspektif bagi memikirkan falsafah baharu dalam dunia pemuisi.\nAntara negara yang menyertai program ini temrasuklah Thailand, Brunei, Singapura, Filipina, India, Korea Selatan, Rusia, Sepanyol, China, Palestin, Australia, dan Belanda.\nSasterawan Negara (SN) Datuk Dr. Zurinah Hassan, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, dan Profesor Datuk Dr. Hashim Yaacob, Naib Canselor Universiti Malaya ke-8, antara peserta yang mendeklamasikan puisi.\nSelain itu, pemuisi dunia yang turut mendeklamasikan puisi ialah Datuk Beelie Tengah (Brunei), Amb Maid Corbic (Bosnia), Zhang Ziyu (China), Helvy Tiana Rosa (Indonesia), Ivhet Cortez (Mexico), Marlene Pasini (Sepanyol), Dr. Emdad Hossain (India), Jami La (Maghribi), Amin Mujtaba (Afghanistan) dan Muhammad Auwal Said (Nigeria), Dr. Victor Pogadaev (Rusia), Sita Aulliya (Belanda), Sam Sumadi dan Ratnasam Sib (Singapura), Dr. Suraiya Chapakiya (Thailand), dan Myoung Sook Kang (Korea Selatan).\n\nOleh sebab sambutan yang menggalakkan, program ini dibahagikan kepada dua malam, iaitu malam pertama pada 27 Jun dan malam kedua pada 28 Jun, bermula pukul 9.00 malam. Ucapan \u201cSelamat Hari Puisi Malaysia\u201c dimulakan pada awal program ini. Program kemudian diteruskan dengan acara deklamasi puisi, bacaan syair dan persembahan lagu puisi." "Kursus Intensif Penterjemahan Kreatif (PPM-DBP)\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Memilih padanan diksi yang dekat untuk produk seni, seperti puisi, prosa, lirik lagu, sari kata, drama, skrip drama pentas, drama radio, drama televisyen, iklan, poster, atau jenama barangan, menuntut kebijaksanaan, imaginasi dan daya kreativiti yang tinggi. Ciptaan seni sarat dengan unsur perlambangan, gaya bahasa dan bahasa figuratif yang membawa makna polisemi. Diksi dalam seni kreatif menggunakan bahasa konotatif demi menghidupkan nilai ekspresif, estetik, afektif dan emotif sesuatu bahan atau produk. Menterjemahkan produk seni dengan memilih padanan diksi yang memiliki kesamaan nilai emotif, afektif, makna, rona, dan nilai-nilai estetika dalam budaya bahasa sasaran sering menjadi cabaran kepada penterjemah kerana setiap bahasa memiliki sintaksis, morfologi, semantik, stilistik, bahasa figuratif, kiasan, perlambangan, budaya, dan rona yang berbeza untuk mengungkapkan keindahan pemikiran dan keestetikaannya.\nMenyedari akan kesukaran yang sering dihadapi oleh para penterjemah memindahkan kreativiti daripada bahasa sumber kepada bahasa sasaran secara asli dan sejadi, maka Persatuan Penterjemah Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka (PPM-DBP) telah mengorak langkah positif dengan menganjurkan bengkel Kursus Intensif Penterjemahan Kreatif secara dalam talian selama dua hari, yakni pada 26 dan 27 Jun 2021 dari pukul 9.00 pagi hingga 5.30 petang untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan peserta kursus dalam terjemahan kreatif.\nSeramai 17 orang peserta daripada pelbagai peringkat usia, latar pendidikan dan kerjaya telah menyertai kursus ini yang dikendalikan melalui pelantar Google Meet oleh Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman dan Fatimah Zainal secara bergilir-gilir selama dua hari.\nMatlamat utama penganjuran Kursus Intensif Penterjemahan Kreatif bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan peserta tentang teori, konsep, kaedah dan pendekatan yang lazim digunakan dalam penterjemahan kreatif. Para peserta didedahkan dengan bentuk kata, ujaran konotatif, gaya kreatif, budaya beraneka, rona berbeza dan citra beragam yang lazim ditemukan dalam teks dan produk kreatif. Mereka dibimbing secara intensif untuk menghasilkan seni terjemahan yang berkualiti dengan cepat dan tepat dalam bahasa sasaran.\nPenterjemahan kreatif merupakan suatu inovasi dalam seni penterjemahan yang menggabungkan elemen kreativiti dan strategi untuk melahirkan terjemahan sejadi yang kreatif, estetik, beritma, dengan sentuhan muzikaliti yang tinggi dalam bahasa sasaran. Penterjemah boleh memanfaatkan pelbagai strategi penterjemahan, termasuk adaptasi, modulasi, transposisi, neutralisasi, naturalisasi, dan transkreasi, untuk menghasilkan seni terjemahan yang estetik dan inovatif dalam bahasa sasaran.\nPenterjemahan kreatif tidak terbatas pada genre sastera sahaja. Rekayasa ini digunakan secara meluas dalam bidang pengiklanan, pemasaran, penciptaan lirik lagu, produk komersial, dan jenama barangan untuk mempromosikan hasil seni di pasaran antarabangsa. Pelbagai aspek dititikberatkan selain diksi seperti cita rasa, rona dan budaya eksklusif sesuatu bangsa agar produk seni tersebut boleh menembus pasaran global, memancing minat pelanggan, dan seterusnya melariskan produk seni merentas sempadan bahasa, bangsa, agama dan negara.\nTuntasnya, produk seni yang sarat daya cipta estetik menuntut sentuhan terjemahan yang kreatif dan inovatif untuk membangkitkan emosi pembaca atau pelanggan yang memiliki latar budaya, agama, bahasa dan bangsa yang berbeza. Kursus selama dua hari ini telah menggabungkan strategi, kreativiti, imaginasi dan transkreasi yang berbeza dan berjaya melahirkan suatu bentuk seni terjemahan inovatif dan kreatif estetik yang bersesuaian dengan budaya dan norma masyarakat tempatan dan antarabangsa dalam bidang penterjemahan kreatif.\nProgram-program penterjemahan boleh diikuti di sini." "Meriuhkan Penceritaan dengan Kesan Bunyi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMenulis ialah kerja yang sunyi. Begitu juga teks dan tulisan yang terhasil daripada aksara yang kaku sifatnya. Hal ini menjadikan penulisan semakin sepi. Namun, perkara ini tidak bermaksud satu-satu penceritaan itu tidak boleh menjadi riuh mahupun gamat. Penulis boleh menghidupkan cerita dan menjentik deria dengar pembaca dengan memanfaatkan kesan bunyi.\nMenurut Nisah Haron dalam Secangkir Kopi Jam Sepuluh musim ketiga episod kelima yang disiarkan pada Sabtu, 19 Jun 2021, kesan bunyi dalam penceritaan dapat memberikan nilai tambah dalam penulisan. Penulisan akan jadi lebih lunak dan tinggi nilai estetika. Rima misalnya, yang banyak terdapat dalam pantun memanfaatkan bunyi yang sama pada huruf akhir atau kata akhir dalam sesuatu rangkap.\nDi sini padi di sana padi, Baru bernama sawah dan bendang;\nDi sini budi di sana budi, Barulah sempurna bernama orang.\nPenulis juga boleh mencipta kesan bunyi yang dapat menimbulkan jangkaan-jangkaan dan perasaan-perasaan tertentu kepada pembaca. Misalnya bunyi daun pintu berkeriut, pinggan kaca jatuh ke lantai atau dahan kayu dipijak orang. Begitu juga bunyi daripada binatang seperti anjing yang menyalak, burung yang berkicau atau kucing yang mengiau. Kesemua kesan ini memberikan suasana yang mengasyikkan seolah-olah pembaca turut sama mendengar bunyi yang dituliskan. Pembentukan kata yang ditiru daripada bunyi alamiah ini dinamakan sebagai onomatopeia.\nSastera tradisional terdiri daripada sastera lisan dan sastera bertulis. Jelas Nisah, dalam sastera lisan misalnya, nazam merupakan wadah yang sering digunakan oleh masyarakat lama terutamanya dalam hal-hal berkaitan ilmu akidah. Nazam 25 Rasul dan Nazam Sifat 20 sebagai contoh menggunakan kaedah mnemonik atau perkataan-perkataan yang mudah diingat supaya proses menghafal jadi lebih mudah.\nPerkataan-perkataan yang mudah diingati ini disebut berulang-ulang kali. Amalan ini menimbulkan kesan bunyi dan kesan penegasan. Hal ini juga dapat dilihat dalam surah-surah lazim dalam ayat suci al-Quran. Surah-surah ini sangat jelas unsur bunyi dan rimanya. Hasilnya, mesej dapat disampaikan dengan baik, ayat-ayat suci mudah dialunkan dan memberikan kefahaman yang jelas kepada masyarakat pada masa itu.\nDalam penulisan prosa, penulis boleh juga mengulang-ulang sesuatu kata atau frasa pada permulaan ayat atau akhir ayat. Jika pengulangan itu berlaku pada permulaan ayat, hal ini dinamakan sebagai anafora. Jika pada akhir ayat, dipanggil epifora.\nBersuku berwaris\nJauh ada, dekat pun ada\nJika jauh didengar-dengarkan\nJika dekat dipandang-pandangkan\nNisah Haron, Mencari Locus Standi (2004)\nDalam contoh di atas, pengulangan \u2018ada\u2019 menggambarkan epifora. Pengulangan \u2018jika\u2019 pula menggambarkan anafora.\nPengulangan juga boleh terhasil dalam sesuatu perkataan. Pengulangan bunyi vokal, misalnya dalam perkataan \u201csesukat\u201d, \u201csecupak\u201d, \u201ctokoh\u201d dan \u201cpokok\u201d dinamakan sebagai asonansi. Dalam puisi Amir Hamzah misalnya, asonansi dapat menghidupkan teks dengan kesan bunyi vokal yang nyata.\nHabis kikis\nSegala cintaku hilang terbang.\nAmir Hamzah, \u201cPadamu Jua\u201d\nAliterasi pula terhasil apabila bunyi atau huruf pertama pada beberapa perkataan yang berturutan dituliskan berulang-ulang. Kebanyakan kata ganda menggunakan unsur aliterasi. Sebagai contoh, mandi-manda, desas-desus, sampah-sarap.\nKesan bunyi bukan sahaja dapat menghidupkan teks yang sunyi, malah pembaca akan turut larut dalam pembacaan dan ternanti-nanti dengan bayangan jangkaan atau perasaan tertentu semasa membaca. Namun, penggunaan kesan bunyi ini haruslah dimasukkan dengan penuh kewajaran dan keseimbangan. Janganlah terlalu lewah penggunaannya sampai hilang maksud dan kejelasan makna sebenar kandungan penulisan yang mahu dibawa.\nDengan tamatnya episod kelima ini, maka berakhirlah siaran Secangkir Kopi Jam Sepuluh untuk musim yang ketiga. Insya-Allah, Secangkir Kopi Jam Sepuluh akan menemui penonton pada siri baharu dalam musim keempat sedikit masa lagi. Nantikan ya!\n\nUntuk menonton siaran terbaharu \u201cSound Effects dalam Penceritaan\u201d, boleh klik di sini.\u00a0Tuan Puan juga boleh terus ke halaman Secangkir Kopi Jam Sepuluh di Facebook untuk menonton episod-episod terdahulu." "Sastera Pelancongan dalam Musim Wabah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Pandemik menyaksikan industri pelancongan sebagai sektor yang begitu terkesan dan menerima implikasi yang sangat mendukacitakan. Hotel-hotel di tutup, tempat-tempat tarikan budaya dan khazanah bangsa juga tidak dapat beroperasi akibat wabah yang menimpa sekarang. Justeru, kumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Mawar Safei menjalankan penyelidikan \u201cPembentukan Model Pelancongan Kesusasteraan di Malaysia\u201d. Penyelidikan ini memerhati cara sastera dapat memainkan peranan penting dalam mempromosikan industri pelancongan di Malaysia, khususnya pada era COVID-19.\nPenyelidikan ini dibicarakan dalam webinar Bicara Tokoh Sastera Pelancongan dan Musim Wabah anjuran Kumpulan Penyelidik GGP-2020-022 dengan kerjasama Pusat Kajian Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (BITARA Melayu), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, pada 27 Jun yang lalu.\nMenelusuri sejarah pelancongan di seluruh dunia, panel pertama Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. Siti Zainon Ismail mengupas catatan beliau tentang asal usul istilah pelancongan yang dahulunya dikenali sebagai merantau, berkunjung dan ziarah. Aktiviti ini telah pun berlaku sejak zaman kerajaan Melayu terdahulu. Misalnya, Hang Tuah merantau ke Turki, Makkah, Kalingga (India), China dan kepulauan Melayu. Hal ini juga dapat dibuktikan melalui hubungan antarabangsa Kerajaan Melayu Melaka dalam Sulalatus Salatin dengan negara-negara luar.\nJusteru, melalui aktiviti perdagangan dan pengembaraan, duta-duta terdahulu menyimpulkan bahawa hubungan pelancongan antara satu negara dengan negara lainnya, seperti China, India dan kepulauan Nusantara telah wujud sejak abad ke-13 dengan menggunakan kapal dagang, bahtera, kapal perang, dan pengangkutan laut yang lain. Secara tidak langsung, pengembaraan dilihat daripada faktor alam dan bumi yang mampu memperkenalkan dan mengangkat lokaliti ke mercu dunia.\nMisalnya, pada abad ke-19, kitab ataupun naskhah manuskrip di Tanah Melayu telah dibawa masuk ke Rusia. Lagu Negaraku pada ketika itu dimainkan di Rusia yang bertujuan untuk menarik minat orang Rusia untuk datang ke Tanah Melayu. Di Belanda sekitar tahun 1985, aktiviti baca puisi Indonesia telah diadakan menjelang malam kemerdekaan negara tersebut. Hal ini merupakan usaha yang dilakukan oleh para penuntut di Belanda untuk mempromosikan budaya tanah air mereka di negara luar.\nDi Malaysia, beberapa tokoh sastera dan seniman negara turut giat menjalankan aktiviti mempromosi negara. Allahyarham Syed Ahmad Jamal (Tokoh Seni Negara) misalnya, menghidupkan tenunan songket menjadi lukisan-lukisan sehingga mendapat pasaran yang amat baik di luar negara. Simbolisme warisan ini secara tidak langsung mendedahkan keindahan budaya dan khazanah negara ke serata dunia.\nKata Siti Zainon, \u201cPenulis hanya ada pena dan perasaan untuk membantu.\u201d Lantaran itu, sasterawan-sasterawan misalnya sering melengkapkan karya-karya mereka dengan pelbagai usaha untuk membuka mata para pelancong terhadap keindahan setempat. Gunung Ledang misalnya, dipilih oleh Kementerian Pelancongan sekitar tahun 1978 untuk menjalinkan penglibatan golongan artis untuk mempromosikan keindahan lokasinya dengan datang melukis di situ.\nLangkah-langkah ini juga dapat diikuti meskipun pada era wabah COVID-19. Kebimbangan, ketakutan dan keresahan dapat diungkapkan melalui karya seni, seperti puisi, lukisan, poster dan poskad, yang bukan sahaja dapat dijadikan sebagai pameran, bahkan dapat menjadi tabung sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Kesempatan ini perlu dimanfaatkan demi menjamin kelestarian negara sebagai pusat tumpuan pelancong meskipun secara dalam talian.\nPanel kedua Uzaidi Udanis, Presiden Majlis Pelancongan Malaysia pula berpendapat, sastera pelancongan sangat memainkan peranan penting menjana ekonomi pelancongan negara. Tambahan pula pada era wabah ini, sastera penulisan ialah salah satu medium penyebaran yang mampu melonjakkan keyakinan pelawat terhadap negara Malaysia.\nBeliau tidak menafikan, impak musim wabah terhadap industri pelancongan menyumbang kepada kerugian yang amat besar. Sebanyak 36 juta rakyat Malaysia yang berkecimpung dalam bidang pelancongan turut mengalami kesan yang amat mendalam. Namun begitu, dengan penulisan latar dan tempat tumpuan tempatan serta penyebarannya dapat membina keinginan untuk melancong. Penghasilan novel Ombak Rindu misalnya, telah berjaya menarik minat pelancong domestik ke Langkawi. Novel Sandokan: The Pirates of Malaysia (1896) karya Emilio Salgari pula telah menyumbang kemasukan pelancong Itali ke Malaysia. Inilah peranan sastera pelancongan yang tidak dapat dinafikan untuk menjana pendapatan industri pelancongan. Impak sastera pelancongan begitu signifikan kerana pelawat dapat mengenali lokaliti tempat melalui pembacaan.\nTambahan pula pada musim wabah, Perintah Sekatan Pergerakan memberikan peluang masa yang banyak untuk rakyat membaca. Hal ini kerana tatkala sempadan dunia ditutup, permintaan terhadap sastera semakin bertambah. Warga dunia dahagakan buku-buku yang seakan-akan memberikan peluang untuk melarikan diri daripada keadaan realiti.\nBagi Uzaidi, terdapat banyak destinasi menarik di Malaysia yang perlu terus-menerus \u201cdiceritakan\u201d oleh golongan penulis. Lembah Lenggong yang berada di Hulu Perak misalnya, yang merupakan lokasi aktiviti manusia tertua di Semenanjung Malaysia perlu didokumentasikan." "India Kemuka 10 Karya Sastera Moden kepada Blok Ekonomi dan Keselamatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBeijing \u2013 Apakah yang perlu dibawa oleh pegawai tinggi kerajaan sesebuah negara sekiranya mengunjungi ibu pejabat organisasi penting mengenai persoalan ekonomi dan keselamatan, apatah lagi membabitkan kuasa besar yang bukan sahaja ada kepentingan hubungan diplomatik, bahkan isu yang berisiko mencetuskan konflik?\nSudah tentu pegawai terbabit akan membawa mandat besar daripada kerajaan untuk menjaga kepentingannya dengan menggunakan kebijaksanaan dan kepintaran diplomasi bagi memastikan hubungan antara negara membuahkan hasil dari sudut pulangan ekonomi dan juga keselamatan terus dipelihara.\nSelain itu, mungkin juga karya sastera!\nYa, Duta India ke China, Vikram Misri, membawa 10 buah karya klasik daripada khazanah kesusasteraan moden negara itu dalam sesi kunjungan rasmi terbaharunya ke ibu pejabat Organisasi Kerjasama Shanghai (SCO) dan bertemu dengan Setiausaha Agung SCO, Jeneral Vladimir Norov.\nSCO yang baru menyambut ulang tahun penubuhannya ke-20 pada 15 Jun lalu, ialah organisasi tetap antara kerajaan pada peringkat antarabangsa yang dianggotai oleh India, Kazakhstan, China, Kyrgyz, Pakistan, Russian, Tajikistan, dan Uzbekistan.\nDalam kunjungan rasmi itu, Misri membawa karya tulisan pengarang India dalam pelbagai bahasa.\nKarya terjemahan itu merangkumi Arogyaniketan karya Tarashankar Bandyopadhyay dalam bahasa Bengal; Ordained by Fate karya Rajinder Singh Bedi (Urdu); Illu karya Rachakonda Viswanatha Sastry (Telugu); The Last Exit karya Nirmal Verma (Hindi); dan Longing for Sunshine karya Syed Abdul Malik (Assamese).\nSelain itu, buku yang dihadiahkan juga ialah Mystery of the Missing Cap and Other Short Stories tulisan Manoj Das dalam bahasa Odia; The Last Flicker tulisan Gurdial Singh (Punjabi); Of Men and Moments tulisan Jayakanthan (Tamil); Parva: A Tale of War, Peace, Love, Death, God and Man tulisan S.L. Bhyrappa (Kannada); dan The Promised Hand tulisan Jhaverchand Meghani (Gujarat).\nKedutaan India di China itu juga bukan sahaja akan mengedarkan karya terjemahan terbabit kepada kedutaan negara anggota SCO, malah kepada negara pemerhati, rakan dialog dan misi lain.\nNegara pemerhati SCO ialah Afghanistan, Belarus, Iran dan Mongolia, manakala rakan dialog organisasi terbabit pula ialah Azerbaijan, Armenia, Kemboja, Nepal, Turki, dan Sri Lanka.\nSementara itu, Vikram dalam kunjungan rasmi itu dipetik berkata, 10 adikarya itu diharap dapat memperkukuhkan hubungan kebudayaan antara negara anggota SCO.\n\u201cHari ini, generasi muda negara anggota SCO tidak begitu menyedari ikatan sejarah yang pernah menyatukan negara-negara mereka.\n\u201cKita berharap inisiatif kecil yang menterjemah permata sastera India ini dapat membuka ruang untuk kita menyumbang dan mengukuhkan lagi persefahaman yang penting dalam usaha meningkatkan kerjasama dalam semua bidang antara negara-negara anggota SCO,\u201d katanya seperti dipetik dalam Outlook India.\nDalam pada itu, Norov dalam kenyataan balasnya berkata, buku itu memperlihatkan kekayaan budaya dan kepelbagaian bahasa di India, sekali gus mengukuhkan hubungan antara rakyat negara anggota SCO.\nSebenarnya, usaha penterjemahan dan mengangkat khazanah karya kesusasteraan itu tidak akan menjadi kenyataan sekiranya tidak mendapat sokongan daripada pemimpin sesebuah negara.\nHal ini kerana majlis penyerahan karya itu susulan daripada pengumuman Perdana Menteri India, Narendra Modi pada Sidang Kemuncak Ketua Negara SCO di Bishkek pada tahun 2019.\nDalam sidang kemuncak itu, Modi mengumumkan 10 karya agung sastera India akan diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia dan Mandarin, iaitu bahasa rasmi SCO.\nSusulan pengumuman itu, Akademi Sahitya atau Akademi Persuratan Kebangsaan India yang bertanggungjawab memelihara dan mempromosi karya sastera dalam 24 bahasa di negara berkenaan, ditugaskan menyelenggarakan projek penterjemahan yang selesai pada hujung tahun lalu.\nUsaha yang dilakukan oleh India untuk menyuguhkan karya sasteranya pada pentas antarabangsa walaupun bukan dalam lingkungan sastera, sebaliknya blok ekonomi dan keselamatan, perlu dijadikan teladan oleh negara ini.\nHal ini kerana, usaha memperkukuhkan ekonomi dan mempertahankan keselamatan memerlukan suntikan kebudayaan termasuk sastera kerana usaha ini bergerak atas dasar kefahaman yang bukan sahaja membabitkan antara kerajaan dengan kerajaan, malah sesama rakyat sendiri.\nKefahaman ini tentunya tak akan dapat dibina semata-mata dengan angka ekonomi atau bahasa senjata, sebaliknya memerlukan nilai kemanusiaan dan kebudayaan yang sarat dalam karya kesusasteraan.\nJusteru, hubungan sesama negara anggota ASEAN juga wajar diberikan suntikan sebegini yang selama ini hanya dilakukan oleh institusi atau badan bahasa, penerbit dan orang perseorangan, tetapi kurang diberikan perhatian dalam konteks negara." "Potensi Pengajaran dalam Cerita Rakyat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDr. Mohamad Zuber Ismail menulis tentang pentingnya cerita rakyat daripada khazanah lisan sastera tradisional kita didedahkan kepada generasi muda, khususnya para pelajar di sekolah.\nKarya sastera masyarakat pramoden atau pratulisan yang dicipta, terhasil berdasarkan pengamatan dan sensitiviti tajam pengarang terhadap suasana alam sekitar dan masyarakat pada ketika itu. Keintiman dan kemesraan masyarakat dengan alam flora dan fauna telah berjaya melahirkan sebuah karya sastera yang cukup unik dan bernilai.\nKarya sastera Melayu tradisional, khususnya cerita rakyat Melayu lahir sebagai kreativiti simbolik dan pemikiran kritis masyarakat Melayu tradisi. Tradisi lisan telah berjaya membawa transformasi intelektual dan anjakan paradigma dalam kesusasteraan di Alam Melayu. Daripada sastera lisan, cerita rakyat telah berkembang sehingga berjaya didokumentasikan dan seterusnya difilemkan dalam bentuk animasi. Kurikulum Standard Sekolah Menengah, Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia (2013), melalui subjek Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan telah memasukkan cerita-cerita rakyat di bawah tema Warisan Kepelbagaian Budaya Melayu sebagai satu langkah alternatif ke arah pengekalan dan penghargaan terhadap warisan budaya dan pemahaman tradisi yang perlu didedahkan kepada generasi muda. Penghayatan nilai-nilai moral dan teladan yang tinggi dalam cerita-cerita rakyat ini merupakan penyumbang pada pembentukan nilai dan jati diri generasi muda yang bertepatan dengan inti pati dan saranan yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara.\nSastera rakyat ialah kesusasteraan yang lahir hasil daripada cetusan pemikiran, idea dan imaginasi masyarakat Melayu tradisi. Lazimnya, sastera rakyat merujuk kesusasteraan rakyat dari masa lampau, yang telah diperturun daripada satu generasi kepada genarasi yang lain dan telah menjadi warisan dalam masyarakat. Sastera rakyat merupakan satu bentuk tradisi lisan yang lahir pada zaman pratulisan. Tradisi lisan membawa pengertian yang luas cakupannya, meliputi bahan naratif dan bukan naratif. Sastera rakyat yang berbentuk cerita dikenali sebagai cerita rakyat atau cerita lisan. Sastera rakyat yang berbentuk naratif ini terdiri daripada cerita lipur lara, cerita jenaka, cerita mitos, cerita legenda, cerita teladan, dan cerita binatang.\nTradisi lisan, budaya lisan dan adat lisan ialah pesan atau kesaksian yang disampaikan secara turun-temurun dari satu gerenarsi ke generasi berikutnya. Pesan atau amanat itu disampaikan dalam bentuk ucapan, pidato, nyanyian dan ungkapan yang terdapat dalam bentuk pantun, cerita rakyat, nasihat, balada, lagu, atau peribahasa. Melalui cara ini, suatu masyarakat dapat menyampaikan sejarah lisan dan pengetahuan lain kepada generasi bawahan sebagai penerusnya tanpa melibatkan bahasa tulisan. Contoh cerita rakyat Melayu termasuk Hikayat Sang Kancil, Kisah Si Luncai dengan Labunya, Kisah Si Tanggang, Mat Jenin, Pak Pandir, Pak Belalang, Hikayat Malim Deman, dan Hikayat Awang Sulung Merah Muda.\nKarya sastera masyarakat pramoden atau pratulisan yang dicipta, terhasil berdasarkan pengamatan dan sensitiviti tajam pengarang terhadap suasana alam sekitar dan masyarakat pada ketika itu. Keintiman dan kemesraan masyarakat dengan alam flora dan fauna telah berjaya melahirkan sebuah karya sastera yang cukup unik dan bernilai. Pengamatan suasana sekeliling ini diteliti dengan penuh kehalusan dan kebijaksanaan. Penyampai cerita memperlihat kekreatifan pemikiran masyarakat yang disesuaikan dengan realiti budaya dan konvensi masyarakat tradisi. Teknik pengkaryaan dan gaya penceritaan tradisi yang dianggap kuno, lesu dan lapuk ini sebenarnya menuntut ketajaman dan kekereatifan minda dan kecerdasan berbahasa yang lebih mencabar daripada situasi berkarya hari ini. Sebalik ciri-ciri yang ketara kaku, mudah dan stereotaip, tersemat kebijaksanaan dan ketamadunan silam yang sukar untuk ditandingi oleh masyarakat moden hari ini.\nKebanyakan cerita rakyat kita juga kaya dengan dengan unsur humor atau lucu. Cerita-cerita sebegini berfungsi untuk menghiburkan dan mendatangkan kegembiraaan kepada para pendengar. Namun begitu, dalam inti hiburan dan gelak ketawanya, terdapat juga unsur kritikan sosial dan pengajaran. Oleh sebab kehidupan masyarakat tradisional tidak mempunyai media untuk memberikan hiburan kepada masyarakat, cerita sebegini diciptakan dalam bentuk seni sastera untuk menarik perhatian. Masyarakat menghabiskan masa rehat mereka untuk mendengar cerita lisan yang disampaikan oleh tukang cerita. Penat lelah berkerja dan berhempas pulas membanting tulang empat kerat terubat dengan mendengar kehebatan, kecantikan, kesaktian anak-anak raja yang sangat istimewa. Begitu juga dengan cerita jenaka. Unsur-unsur lucu yang ditimbulkan dalam cerita jenaka dengan pelbagai bentuk kelucuan menyampaikan kegembiraan dan gelak tawa keriangan lalu berjaya membuatkan mereka lupa seketika akan kesengsaran dan kesempitan hidup. Dalam penyampaian cerita rakyat, elemen pantun juga diselitkan dan dituturkan dengan tujuan untuk mengusik, khususnya antara teruna dengan dara.\nCerita rakyat juga banyak menyelitkan daya fikir orang Melayu, malah memang jelas sastera rakyat Melayu terpancar pandangan alam Melayunya (Malay worldview). Pandangan alam Melayu ini cukup mementingkan perhubungan baik antara sesama manusia, antara manusia dengan alam tabiinya, dan antara manusia dengan alam ghaibnya atau alam metafiziknya. Sebab itulah dalam sastera rakyat, terpancar segala macam kias ibarat yang mengandungi unsur-unsur pendidikan dan teladan. Kesemua ini membuktikan betapa masyarakat tradisi juga sangat tajam memerhati alam sekeliling dan merenungi pengalaman hidupnya yang penuh falsafah. Daripada cerita-cerita inilah tersemai nilai pengajaran sebagai panduan untuk menelusuri arus kehidupan.\nSastera rakyat yang terdapat dalam masyarakat Melayu dipercayai juga wujud dalam masyarakat lain di dunia. Sastera rakyat membawa mesej yang boleh diterima oleh masyarakat sejagat.\nSastera rakyat sentiasa berkembang dan relevan sepanjang zaman, bak kata pepatah \u201cTak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan\u201d. Inti pati dalam kandungan karya sastera rakyat ini amat sesuai untuk diteladani, diikuti dan dihayati. Sastera lama terus-menerus membawa satu anjakan paradigma dan transformasi dari segi etos, akal jernih dan khazanah ilmu orang-orang tua dahulu. Sastera lama sentiasa komited untuk membudayakan dan mentamadunkan manusia dan membuktikan bahawa sastera lama tidak pernah tersisih dan terpinggir daripada dunia moden. Sastera rakyat merupakan manifestasi lambang keikhlasan dan keluhuran akal budi warisan khazanah ilmu masyarakat tradisi yang utuh terpahat dalam dunia kesusasteraan tanah air.\nSastera rakyat yang terdapat dalam masyarakat Melayu dipercayai juga wujud dalam masyarakat lain di dunia. Sastera rakyat membawa mesej yang boleh diterima oleh masyarakat sejagat. Terdapat banyak persamaan dari segi segi corak dan isi cerita sastera rakyat Melayu dengan corak dan isi cerita rakyat yang dimiliki oleh masyarakat lain di dunia. Jika diimbas sejarah sastera lisan secara lebih global, sastera lisan juga berlaku dalam masyarakat luar negara, seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Belanda, Rusia, New Zealand, Australia, Afrika, dan India. Cerita-cerita rakyat ini telah berjaya menjadi cerita yang popular pada kurun ke-18. Sebagai contoh, cerita tentang kepahlawanan Robin Hood di England dan Hercules di Greece.\nTernyata kisah sastera rakyat telah membawa satu fenomena dalam dunia perfileman masa kini apabila cerita-cerita tersebut diubah suai mengikut kesesuaian zaman. Hasil gabungan idea dan kreativiti karyawan filem telah berjaya diadaptasi ke layar perak. Lantaran itu, pada masa kini, cerita rakyat ini telah dikenali di seluruh seluruh dunia dan kesinambungan daripada situasi tersebut terhasil filem-filem yang memaparkan kisah-kisah hebat tentang hero yang gagah perkasa, pintar, bijaksana dan memiliki kemahiran luar biasa serta kesaktian. Di Rusia, cerita-cerita seperti Tarzan, dewa-dewi di kayangan, ahli-ahli sihir dan sebagainya telah melahirkan pelbagai versi cerita yang kemudian tersebar ke negara-negara lain. Cerita-cerita tersebut telah meninggalkan kesan yang ketara dan amat mendalam terhadap penceritaan cerita. Demikian halnya sastera rakyat di Malaysia yang telah berjaya difilemkan, seperti Puteri Guung Ledang (2004) yang telah mengangkat martabat negara dalam industri perfileman antarabangasa. Karya sastera bercorak naratif ini telah menjadi tumpuan dan perhatian masyarakat dunia apabila berjaya memperlihat keunikan seni budaya dan keunikan bahasa masyarakat Melayu tradisi.\nKesimpulannya, tradisi lisan merupakan khazanah warisan budaya bangsa yang tidak ternilai harganya. Walaupun sastera rakyat hanya secebis daripada ini warisan itu, namun peranan dan sumbangannya amat penting demi membina dan membentuk budi fikir dan rasa kolektif masyarakatnya untuk sepanjang zaman. Peranannya bukan sahaja sebagai sumber hiburan tetapi juga sebagai wahana pendidikan, sumber ilmu rujukan, gambaran sejarah budaya bangsa, dan lambang kecendekiawan pemikiran masyarakat tradisinya. Justeru, warisan ini perlu dipertahankan, diperelokkan dan terus-menerus didokumentasikan dalam pelbagai versi untuk tatapan generasi seterusnya. Kita harus melihat tradisi lisan bukan lagi sebagai suatu produk yang tidak menyumbangkan apa-apa pulangan dalam bentuk ekonomi tetapi perlu diolah melalui daya kreativiti untuk menjana nilai komersial dalam pembangunan dan permintaan dunia moden hari ini. Kesusasteraan sememangnya harus dilihat lebih jauh daripada hanya sebuah subjek bagi satu disiplin ilmu, kerana kesusasteraan sebenarnya memberikan sumber ilmu dan penghayatan halus tentang cara kita menilai dan menempatkan diri kita di dunia sekarang. Oleh sebab itu, kedudukan sastera rakyat perlu dimartabatkan dan diperkasakan dalam arus pembangunan ekonomi dan sosiobudaya masyarakat Malaysia.\n_________________________\nMohamad Zuber Ismail (PhD) telah berkecimpung dalam dunia pendidikan selama lebih kurang 20 tahun. Kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa, Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Pagoh, Johor. Pernah dipinjamkan oleh Bahagian Pemasaran Pendidikan Antarabangsa, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia ke Uzbekistan State World of Languages University selama dua tahun untuk program pembelajaran Bahasa Melayu untuk pelajar asing. Pernah menjadi Felow Akademik di Jabatan Bahasa Melayu-Indonesia, Johann Wolfgang Goethe University of Frankfurt, Jerman dan Profesor Pelawat di Universitas Brawijaya, Jawa Timur, Indonesia. Beliau turut melibatkan diri dalam pembentangan kertas kerja di dalam dan luar negara yang berfokuskan dalam pengaplikasian teori-teori kritikan sastera serta aktif dalam usaha menjalinkan kerjasama dua hala dengan negara Korea dan Jepun untuk penganjuran program intensif Bahasa Melayu untuk pelajar asing." "Perbahasan Panjang tentang Takrif Puisi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nApakah itu puisi? Soalan itu ringkas dan mungkin remeh tetapi menyeret perdebatan yang berpanjangan. Di media sosial Twitter, persoalan berkenaan dibicarakan secara terbuka oleh kumpulan Tukang Puisi dan penerbit Kata-Pilar menerusi sesi Mengopi Puisi (Episod 2) \u201cPuisi Itu Apa?\u201d pada 3 Julai 2021 (Sabtu) jam 9.15 malam.\nDikendalikan oleh penyair Za\u2019im Yusoff dan Fahd Razy, perbincangan secara dalam talian ini menampilkan empat orang panel, iaitu Shafiq Said, Dr. Adibah Abdullah, Alif Awan dan Nana.\nPerbincangan ternyata menarik berdasarkan pandangan tidak sekata antara semua panel. Masing-masing membawa hujah sendiri yang menjadi indikator. Persoalan paling mudah seperti \u201capa itu puisi\u201d nampaknya akan terus berlangsung.\nBagi Adibah, secara jelas prosa dan puisi itu berbeza namun beliau berpandangan mengapakah puisi itu perlu didefinisikan kerana akhirnya ia akan melarikan kita daripada tugas sebenar, iaitu menulis dan membaca.\nAdibah yang mengakui berpegang pada definisi tradisi puisi berkata, puisi itu sukar untuk dijelaskan tetapi mudah dimengerti bagi mereka yang memahaminya. \u201cIa ibarat kita jatuh cinta kepada seseorang. Apakah kita jatuh cinta pada sifatnya? Kita tidak tahu, tapi kita tahu kita jatuh cinta. Begitu jugalah dengan puisi. Kadang-kadang kita melihat satu-satu karya dan kita tahu itulah puisi. Mungkin kerana puisi menyentuh aras bawah sedar kita, menyentuh rasa dan kita tahu kerana ia satu kesedaran kolektif yang tidak ada pun dalam panduan menulis puisi, tapi kita tahu itulah puisi,\u201d katanya.\nTegas Adibah, puisi bebas tanpa perlu dikepung dengan definisi tetapi tidak bermakna semua tulisan pun boleh didefinisikan sebagai puisi.\nPandangan Adibah itu berlawanan dengan Nana yang mengakui dia suka memberontak kerana menurutnya, definisi puisi itu sebenarnya sebagai \u201cpanduan\u201d dan \u201cpanduan\u201d itu memang dibuat untuk dilawan.\n\u201cSaya bukan datang dari background\u00a0sastera, saya belajar sendiri. Misi saya bertanya apa itu puisi dan bila saya jumpa saya akan langgar parameter sedia ada. Nak memberontak lagi. Saya bermain dengan spoken word, buat multimedia, animasi, games . Saya rasa seronok untuk memberontak kerana penulisan puisi merupakan ruang untuk diterokai. Definisi puisi itu sendiri memberikan ruang untuk penulis bermain-main dan bukan semua pemberontakan itu jenis marah-marah,\u201d katanya.\nNamun pandangan Nana disanggah oleh Syafiq yang melihat puisi masih perlu mempunyai definisi. Katanya, walaupun sebelum ini dia secara peribadi pernah ditanyakan mengapa persoalan \u201capa itu puisi\u201d perlu ditanyakan namun katanya, pertanyaan sebegitu masih sangat penting dalam usaha mengenal puisi.\n\u201cTahun lepas, saya ada bertanya apa itu puisi tetapi dapat feedback yang negatif, sudah tahun 2020 saya masih tanya akan hal ini. Saya tetap tulis saja (puisi). Tapi bagi saya, puisi ialah ungkapan atau susunan kata-kata yang memberikan pengalaman untuk menjadi manusia. Sama ada pengalaman itu gembira atau sedih atau kadang-kadang merasai pengalaman rohani.\n\u201cJusteru, ia harus ada penanda aras. Tanpanya kita tidak boleh nak kritik dan memberikan nilai pada puisi itu,\u201d katanya.\nTegas Syafiq, beliau percaya, penulis puisi perlu diletakkan di bawah satu pertanggungjawaban.\n\u201cKita mesti ada satu peraturan. Pandangan penulis yang kata kalau ada batas, kita kena langgar batas itu mungkin rule dia, sebab tak semestinya apabila ada batas kita kena dan mesti langgar,\u201d katanya." "Melestarikan Bahasa Suku Kaum Dusun Malapi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPapar, Sabah \u2013 Suku kaum Dusun Malapi merupakan antara suku kaum yang hampir pupus di Sabah. Sehubungan dengan itu, Unit Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) telah melaksanakan program Pelestarian Bahasa Sukuan Sabah: Dusun Malapi, hasil tajaan Kerajaan Negeri Sabah di Hidden Paradise Resort, Papar yang berlangsung pada 12 hingga 16 Oktober 2022.\nAntara objektif pelaksanaan program tersebut termasuklah untuk memperkaya kosa kata bahasa sukuan Sabah, mendokumentasikan hasil penyelidikan tentang budaya dan bahasa Dusun Malapi, mengekalkan jumlah bahasa etnik di Sabah, dan melahirkan warga DBP yang berketerampilan dalam penyelidikan bahasa melalui bimbingan fasilitator atau rakan penyelidik.\nProgram yang berlangsung selama tiga hari yang diketuai oleh Puan Julianah Kuli, selaku Pegawai Projek melibatkan para peserta yang terdiri daripada tiga orang fasilitator daripada Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, tujuh orang staf DBPCS, seorang pembantu penyelidik dan 12 orang informan daripada subetnik Dusun Malapi.\nSemasa sesi santai petang program Pelestarian Bahasa Sukuan Sabah: Dusun Malapi bersama-sama Pengarah DBPCS, Puan Aminah Awang Basar dalam ucapannya menyatakan penghargaan dan rasa terima kasihnya kepada masyarakat Dusun Malapi atas kerjasama yang sangat baik dalam merealisasikan objektif program tersebut.\nYang turut hadir dalam program ini ialah Encik Justin Sumpongol (mantan Ketua Anak Negeri Daerah Papar), Puan Jennitah Nordin (Timbalan Pengarah II,\u00a0 DBPCS) dan Puan Mokilim Buhakut (wakil Hidden Paradise Resort).\nSusulan daripada kajian lapangan ini, sesi pemurnian bahan kajian akan diadakan pada bulan Disember dan penulisan hasil kajian akan bermula pada bulan Januari 2023 hingga Disember 2023." "Drama Adaptasi Ayahanda Meruntun Jiwa dan Penuh Konflik Keluarga\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDrama bersiri Ayahanda akan menemui peminat drama Melayu bermula pada 10 Julai 2021 dalam slot Lestary TV3, yang bersiaran setiap hari Rabu hingga Jumaat, pukul 9.00 malam. Drama arahan Dato\u2019 Ahmad Tamimi Siregar ini diterajui oleh Jalil Hamid yang memegang watak ayah bernama Haji Abdullah. Nama pelakon hebat yang turut beraksi dalam drama penuh emosi meruntun kalbu ini ialah Fauziah Dato\u2019 Ahmad Daud yang memegang watak ibu bernama Noriah. Drama bertemakan keluarga dan kasih sayang ini turut dijayakan oleh pelakon popular seperti Fikry Ibrahim sebagai Aziz, Noorkhiriah sebagai Halimah, Shahz Jaszle sebagai Ramli, Hairi Safwan sebagai Ahmad, Sherry Ibrahim sebagai Aishah, dan Mimi Ernida sebagai Rahayu. Penggambaran drama 13 episod ini bermula pada bulan Mei 2021, yang mengambil lokasi di beberapa kampung di Kedah dan Perlis.\nDrama bersiri ini diadaptasi daripada novel Ayahanda karya penerima S.E.A. Write Award tahun 1988, Azizi Haji Abdullah. Novel ini memaparkan kisah keluarga yang berlatarkan kampung di utara tanah air pada tahun 1980-an. Penceritaan Ayahanda disorot oleh Azizi melalui kaca mata seorang anak lelaki yang beradu keegoaan dengan seorang bapa yang hayatnya berusia 97 tahun. Melihat pada plot yang meruntun jiwa dan konflik keluarga yang sarat dengan pengajaran, syarikat penerbit Zeel Production Sdn. Bhd. telah melamar novel Ayahanda terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk diadaptasikan dalam bentuk drama bersiri.\nPlot cerita adaptasi ini dikisahkan melalui dua sudut pandang. Sudut pandang pertama memaparkan sikap seorang ayah berdasarkan tanggapan dan pandangan anak bongsunya yang begitu sukar untuk memahami apa-apa yang ada dalam hati degil ayahnya. Kedegilan seorang ayah yang tidak boleh ditegur dan tidak boleh menerima nasihat anak-anak. Disebabkan kedegilan itu, si ayah sentiasa berburuk sangka, berdendam dan mudah berasa marah. Dalam masa yang sama, timbul juga rasa bersalah dalam hati si ayah yang sebenarnya berkonflik dengan perasaannya sendiri.\nDari sudut pandang si ayah pula, dia sanggup berkorban apa-apa sahaja demi keluarga dan anak-anaknya. Susuk yang bernama ayah, sama ada dalam novel dan drama, digambarkan melalui watak lelaki tua yang sebenarnya kaya dengan kasih sayang. Walaupun sikapnya degil dan hatinya diselubungi rasa duka, dia tidak pernah berhenti berdoa agar Allah memberkati mereka sekeluarga. Dia juga jenis ayah yang tidak pandai menunjukkan rasa dengan luahan kata-kata. Isi hatinya hanya ditunjukkan melalui perbuatan dengan harapan anak-anaknya memahami dirinya. Hakikatnya, perasaan seorang ayah itu sukar difahami sekalipun digali sedalamnya oleh anak-anak sendiri. Walaupun anak lelaki dalam Ayahanda cuba untuk memahami perkara sebenar dalam hati seorang lelaki tua, namun semakin dia cuba memahaminya, fikirannya sendiri menjadi semakin rumit. Konflik inilah yang menjadi kekuatan novel dan adaptasi drama ini.\n\nWaris penulis novel Ayahanda, Anita, anak bongsu Aziz Haji Abdullah, semasa ditemu bual oleh pihak DBP menyatakan, cerita tentang ayah yang terdapat dalam novel Ayahanda sebenarnya ialah kisah ayah Azizi sendiri. Menurut Anita, \u201cAzizi mengolah kisah ayahnya sendiri dan bagaimana mereka sebagai anak-anak yang kerap membangkang apa-apa yang ayah mereka lakukan semasa hayatnya.\u201d Tambah Anita, konflik dalam Ayahanda ialah realiti yang berlaku dalam sesebuah keluarga, termasuk keluarga Azizi, yang menunjukkan setiap yang bergelar ayah itu memang ada sikap dan egonya sendiri, sama ada disenangi atau tidak disukai oleh anak-anaknya.\nSememangnya, Ayahanda sebuah karya yang sarat dengan tema kekeluargaan dan juga elemen agama Islam yang menjadi tunjang penceritaan. Kisahnya digarap dengan penuh penghayatan sehingga pembaca dapat merasai emosi setiap watak. Setelah diadaptasi dalam bentuk drama, sudah pasti penonton tidak dapat mengelak untuk berasa simpati dengan perjuangan ayah yang walaupun sudah di hujung usia tetapi masih mengekalkan tugasnya sebagai seorang imam tua dan menghargai ilmu agama. Barisan pelakon yang mantap dalam drama Ayahanda sudah tentu memberikan nyawa kepada watak-watak yang selama ini hanya dibaca dalam novel yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 2016. Boleh dikatakan, naskhah Ayahanda membawa misi sosial yang amat disarankan untuk dibaca dan ditonton oleh insan yang bergelar anak.\nAyahanda akan bersiaran bermula 10 Julai 2021 dalam slot Lestary TV3 pada setiap hari Rabu hingga Jumaat, pukul 9.00 malam. \nBeli novel Ayahanda di sini." "Book Tube: Alternatif Baharu Mengenal Buku\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cApabila karya tidak diperkatakan, maka ia akan mati ditelan zaman.\u201d Demikian kata-kata yang dipetik oleh salah seorang panel melalui pesanan gurunya dalam Diskusi Ilmu \u201cResensi Buku Melalui Video: Alternatif Baharu Mengenal Buku\u201d dari Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada 5 Julai jam 10.00 pagi.\nDiskusi yang dikendalikan oleh Puan Baiduri Mohamed Rosli sebagai moderatornya telah memancing perbincangan hangat antara dua panel, Encik Hafiz Latiff dan Encik Nazlie Amri Abdul Rahim. Usaha memperkenalkan sesebuah karya melalui video ialah alternatif terpantas yang dapat dilakukan pada masa kini. Tidak mungkin dapat mengenali sesebuah karya dalam ribuan karya jika tiada siapa yang memperkatakanya.\nKemunculan golongan muda seperti Hafiz Latiff dan Aman Wan misalnya, dalam memperkenalkan Book Tube Malaysia telah berjaya menarik seramai 62 orang ahli untuk mengulas dan melontarkan kritikan membina terhadap sesebuah karya atau buku yang dibaca. Usaha ini dilihat sebagai satu persaingan positif, kerana keupayaan seseorang yang berani bercakap di hadapan kamera merupakan satu cabaran yang dapat memberikan manfaat kepada khalayak penonton dan peminat buku khususnya.\nHafiz Latiff menambah, \u201cJika karya atau buku tidak diulas dalam media sosial, ia akan dilupakan atau tidak diperkatakan (tiada publisiti). Adalah penting mengulas dalam bentuk video YouTube dan pelantar video yang lain agar masyarakat umum dapat menghayati sesuatu karya.\n\u201cJumlah karya buku dan pelbagai karya amat banyak sehingga ribuan atau jutaan dalam dunia ini. Oleh itu, amat penting publisiti, promosi, ulasan, kritikan dan analisis dibuat dalam platform yang pantas dilihat, yakni media sosial seperti YouTube khususnya.\u201d\nNazlie Amri pula menjelaskan, komuniti Book Surgeon yang mengadakan \u201cpembedahan buku\u201d mula bergerak dari platform komuniti di facebook pada 18 Ogos 2018, ke platform YouTube dengan memuatkan aktiviti seperti ulasan buku, kritikan, analisis dan bedah karya.\n\u201cSetiap penulis membawa pelbagai ideologi, justeru penting kepada pembaca bukan sekadar membaca, tetapi mampu berfikiran kritis terhadap sesuatu karya yang dibacanya,\u201d ujar Nazlie Amri.\nHafiz Latiff dan Nazlie Amri sama-sama berkongsi panduan untuk menghasilkan video resensi atau ulasan buku di YouTube. Antaranya termasuk (1) pembaca terlebih dahulu perlulah membaca sesuatu buku yang hendak diulas, (2) mengulas dengan cara tersendiri tanpa meniru-niru orang lain (menjadi diri sendiri), (3) video yang singkat berdurasi 1.00\u20132.00 minit supaya penonton tidak jemu, (4) kritikan tidak mengaibkan peribadi seseorang meskipun tidak bersetuju dengan apa-apa yang ditulisnya, dan (5) pelbagai tip juga boleh dikongsi sebelum video tersebut disunting dan dimuat naik ke YouTube.\nPerkara pertama yang perlu dilaksanakan untuk memahami sasaran di media sosial bagi persembahan video atau karya, si pengulas hendaklah memilih nama penyampai atau kumpulan yang menarik perhatian. Contohnya, nama Hafiz Latiff dijenamakan sebagai \u201cBang Fizz\u201d, yang bertujuan untuk menarik perhatian penonton dan dianggap mesra serta punya identiti yang tersendiri.\nTerdapat beberapa penonton yang turut bertanya kepada panel tentang penggunaan platform media sosial untuk mengulas buku secara langsung, seperti Instagram dan Twitter. Bagi Hafiz dan Nazlie, ulasan buku secara langsung di platform seperti Facebook (FB Live), Instagram atau Twitter masih digalakkan namun bagi pengulas amatur, akan timbul masalah jika ada soalan yang tidak dapat dijawab secara spontan dan memerlukan kepakaran ilmu. Platform-platform ini juga mempunyai para pengikut tegarnya masing-masing. Hal ini berbeza dengan YouTube, suatu platform media rakaman yang boleh ditonton oleh semua orang seperti siaran televisyen dalam talian." "Dunia Penglipur Lara Menerusi Pemahaman RL:KDHT\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSerdang \u2013 Penglipur lara merupakan sebahagian daripada warisan sastera silam. Walaupun mungkin jumlahnya makin berkurang hari ini, tetapi kajian mengenainya tetap berterusan. Satu daripada kajian yang dibuat mengenai penglipur lara ialah model binaan RL:KDHT oleh Prof. Madya Dr. Roslina Abu Bakar dari Universiti Putra Malaysia (UPM).\nDalam acara Cakna Sastera 1.0: Semanis Bicara Bersama \u201cBerbicara tentang Model RL:KDHT\u201d pada 6 Julai jam 2.00 petang di laman sosial UPM Alumni, Roslina berkata model itu secara umumnya mengkaji mengenai komunikasi antara penglipur lara dengan audiensnya.\n\u201cModel RLina: Komunikasi Dua Hala Terancang atau KDHT ini ialah teori komunikasi yang dibina untuk membaca karya sastera. Model ini menampilkan komunikasi dua hala antara penglipur lara dengan khalayaknya secara bersama, iaitu mereka secara serentak bertindak sebagai sumber dan penerima,\u201d katanya.\nTambahnya, penglipur lara mempunyai keunikan tersendiri dan keunikan itu dapat dikupas menerusi model binaan RL:KDHT yang memperincikan bagaimana proses tukar menukar data, fakta dan idea, di samping membina pelbagai fungsi komunikasi dan sastera rakyat itu sendiri.\nMengikut model ini, komunikasi antara penglipur lara dan audiens berbentuk transaksional, iaitu pengirim juga ialah penerima dan proses yang saling bergantungan.\n\u201cPenglipur lara dilihat sebagai sumber kerana kedudukanya sebagai communicator yang bercerita atau menyampaikan mesej kepada audiens. Sepanjang persembahan, penglipur lara menjadikan komunikasi dua hala itu berkesan kerana elemen interpersonal merangkumi pengetahuan, pengalaman, kemahiran, kreativiti, dan kecerdasan ketika persembahan,\u201d katanya.\nTambah Roslina, berdasarkan RL:KDHT, komunikasi tidak wujud secara terpencil, sebaliknya proses ini juga berhubung dengan aspek lain dalam kehidupan. Dalam konteks kebudayaan, komunikasi dan interaksi tidak akan mampu wujud tanpa masyarakat, dan masyarakat pun tidak akan wujud tanpa individu.\n\u201cPenglipur lara menyampaikan mesej mengikut keupayaan pengetahuannya dan ia selari dengan prinsip komunikasi tertentu yang digariskan dalam Islam. Justeru, penglipur lara ini berada dalam kelompok Melayu Islam, maka komunikasi atau mesej yang disampaikan adalah seputar hal itu,\u201d katanya.\nHal ini dari satu segi menjelaskan komunikasi itu tidak akan tercapai jika sumber dan penerimanya datang daripada latar budaya yang berbeza.\nProgram bicara ilmiah ini boleh ditonton di sini." "Kesedaran \u201cKebangsaan\u201d Awal di Pulau Pinang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKolumins S.M. Zakir mengembalikan semangat \u201ckebangsaan\u201d Jawi Peranakan Pulau Pinang yang kosmopolitan, menemui hikmahnya dan alamat waspada untuk masa depan.\nMasyarakat Jawi Pekan di Pulau Pinang memulakan akhbar dan menjadi penulis serta pemikirnya. Mereka terdedah dengan setiap perkembangan yang berlaku di dunia Islam dan menuangkannya dalam penulisan.\nPada suatu acara Bicara Buku di Dewan Bahasa dan Pustaka sebelum adanya lagi pandemik COVID-19, saya membicarakan buku Aci Patmabi karya Azmi Iskandar Merican. Novel ini menarik bagi saya kerana menceritakan kisah orang-orang Melayu di Pulau Pinang yang lebih dikenali sebagai Jawi Peranakan yang kaya raya dan menguasai hartanah menjadi papa kedana apabila harta diwariskan kepada anak-anak yang gemar berfoya-foya. Wan Nor Azriq yang turut ada dalam majlis wacana itu mengemukakan hal yang sama pernah ditulis oleh Ahmad Rashid Talu dalam novelnya Perangkap Hitam. Novel ini ada dalam simpanan saya dan pernah saya baca dahulunya. Saya meneliti kembali Perangkap Hitam dan membenarkan hal yang dikatakan oleh Wan Nor Azriq.\nDalam Aci Patmabi, wanita menjadi protagonis yang berjuang untuk menyelamatkan anak bangsa daripada tergadai. Sementelahan dalam Perangkap Hitam, Sofiah menjadi antagonis yang merosakkan anak bangsa sehingga menggadaikan segala harta benda. Kedua-dua wanita ini mempunyai latar yang berbeza. Aci Patmabi keturunan hartawan yang membesar dan terdidik dalam budaya elit. Sementara Sofiah, gadis kampung yang datang mengikuti suaminya ke Pulau Pinang mencari kehidupan yang baik tetapi terjerumus ke dalam kolong kemiskinan. Aci Patmabi berkahwin dengan Pakwan anak Mamak Seeni Rawther saudagar berlian. Aci Patmabi sendiri anak Mamak Maidin, saudagar yang memiliki rumah besar di kawasan elit Jalan Hatin.\nSofiah meminta cerai daripada suaminya Umar yang miskin dan membawa anaknya untuk pulang ke Kuala Muda di Kedah. Ketika menaiki kereta hendak pulang, Sofiah bertemu dengan Mak Su dan Ramlah. Mak Su terkenal di Pulau Pinang menyimpan janda-janda cantik untuk tujuan menggoda lelaki kaya dan mengikis harta mereka. Itulah sumber kehidupan Mak Su dan perempuan-perempuan belaannya. Mak Su ialah ibu ayam kelas tinggi. Bermulalah kehidupan Sofiah sebagai \u201cPerangkap Hitam\u201d atau perempuan penggoda yang mengikis harta orang-orang kaya. Sofiah mendapat rumah di Patani Road daripada mangsa pertamanya, iaitu Abdul Rahman anak hartawan yang mendapat harta pusaka dan suka berfoya-foya. Setelah Abdul Rahman mati oleh kemalangan, Sofiah menjadikan rumah itu sebagai pusatnya memerangkap lelaki-lelaki kaya yang lupa daratan di Pulau Pinang.\nSofiah boleh dikatakan adalah sewatak dengan Chah Lenggok, perempuan joget yang menggoda Pakwan suami Aci Patmabi sehingga Pakwan jatuh bankrap, bercerai dan menjadi dungu. Lelaki-lelaki yang digoda oleh Sofiah juga adalah sama wataknya dengan Pakwan; kaya menerima pusaka, suka berfoya-foya menghabiskan harta, dan akhirnya menjadi lembu di kaki perempuan. Hairannya, lembu di kaki perempuan penggoda yang jahat, tetapi menjadi bengis dan berkira dengan isteri sendiri yang baik bahkan cantik. Jika Aci Patmabi muncul sebagai pejuang yang ingin menghapuskan parasit perosak bangsa, dalam Perangkap Hitam Said pula menjadi pejuang untuk menghapuskan perempuan parasit yang menjahanamkan hidup anak bangsa. Bezanya, Said menang dan berjaya, tetapi Aci Patmabi tewas dan jatuh miskin.\nKedua-dua buah novel ini dapat dilihat sebagai pencetus kesedaran kebangsaan yang awal. Perangkap Hitam diterbitkan pada tahun 1935, sementara Aci Patmabi diterbitkan pada tahun 2012. Namun kedua-dua novel ini mengangkat latar Pulau Pinang pada zaman pemerintahan Mahkota Inggeris pada awal abad ke-20. Aci Patmabi jelas membawa masuk peranan Syed Sheikh Al-Hadi dalam memberikan inspirasi kepada semangat kesedaran. Aci Patmabi digambarkan sebagai wanita yang membaca tulisan Syed Sheikh Al-Hadi dan mendapat inspirasi daripadanya. Hal itu mungkin kerana penulisnya Azmi Merican lahir pada zaman selepas itu dan cuba mendapatkan realisme semangat kesedaran zaman itu. Sementara Ahmad Rashid Talu pula hidup pada zaman tersebut dan lebih bertindak sebagai pencetus semangat kesedaran itu sendiri.\nPulau Pinang di bawah pemerintahan Mahkota Inggeris dikenali sebagai Negeri Selat mempunyai masyarakat majmuk yang unik. Antara masyarakat yang berpengaruh ketika itu ialah golongan Jawi Pekan atau Jawi Peranakan. Mereka merupakan masyarakat kacukan golongan pedagang dari India tengah dan utara yang berkahwin dengan masyarakat Melayu. Mereka bertutur bahasa Melayu dan banyak mengikuti resam Melayu yang bercampur dengan resam dari India. Berbeza dengan Tamil Muslim atau mamak yang datang dari Kadayanallur dan Tenkasi dari selatan India yang bertutur bahasa Tamil dan merupakan golongan bawahan. Jawi Pekan merupakan masyarakat elit, terpelajar dan kaya raya, di samping berpengaruh. Selain itu, terdapat masyarakat atasan Eropah, juga kelas menengah seperti Armeni, Yahudi dan sebagainya. Di samping itu, terdapat masyarakat Cina, India-Hindu, Serani serta Melayu dari tanah semenanjung dan Nusantara.\nMasyarakat Jawi Pekan di Pulau Pinang memulakan akhbar dan menjadi penulis serta pemikirnya. Mereka terdedah dengan setiap perkembangan yang berlaku di dunia Islam dan menuangkannya dalam penulisan. Lantaran itu, kesedaran awal tentang semangat kebangsaan boleh dikatakan lahir secara tidak langsung daripada penulisan mereka. Walaupun istilah \u201ckebangsaan\u201d itu masih kabur, malah mungkin tidak wujud secara politikalnya, tetapi kesedaran untuk mempertahankan bangsa \u201cMelayu moden\u201d yang berkembang juzuknya dalam dunia moden telah muncul dengan begitu bersemangat dan bertenaga \u2013 secara intelektualnya. Novel Perangkap Hitam di tangan Ahmad Rashid Talu memperlihat kesedaran semangat kebangsaan, dapat dilihat daripada kata-kata Said yang ingin menyelamatkan \u201cbangsa Melayu\u201d ini daripada kehancuran moral.\nHal ini juga ditemui dalam semangat Aci Patmabi, mewakili watak zaman kehancuran bangsa Melayu moden yang hilang satu persatu harta benda mereka oleh kelihaian anak-anak pewaris harta yang hidup berfoya-foya dan bergelumang dengan maksiat. Apa yang menarik, kesedaran semangat kebangsaan ini ditumpukan sepenuhnya kepada kesalahan bangsa Melayu sendiri, tanpa menyalahkan bangsa lain atau mengambil sikap permusuhan dengan bangsa lain. Hal ini memperlihat kematangan dan kecerdikan kesedaran semangat kebangsaan yang muncul di Pulau Pinang. Dalam kedua-dua novel, lebih-lebih lagi Perangkap Hitam, tiada kaum lain yang dijadikan antogonis sepertimana sebahagian novel-novel awal di tangan penulis Tanah Semenanjung yang gemar meletakkan bangsa lain sebagai antagonis dan perampas hak orang Melayu.\nPerbezaan ini berlaku kerana latar kosmopolitan di Pulau Pinang sejak dahulu lagi menyaksikan pergaulan setiap bangsa atau kaum atas dasar sama-sama mencari penghidupan di tanah \u201cMahkota Inggeris\u201d. Kepelbagaian kaum di Pulau Pinang hidup atas dasar saling memerlukan. Keadaan ini terbawa-bawa kepada sikap kaum intelektual di Pulau Pinang yang melihat kesedaran kebangsaan dalam spektrum yang berbeza. Dalam novel Perangkap Hitam, jelas sekali spektrum kesedaran semangat kebangsaan ini tidak meletakkan kaum lain sebagai watak antagonis kepada kaum Melayu, sebaliknya watak-watak umum yang mempunyai peranan yang jernih. Antagonis kepada bangsa Melayu ialah sikap bangsa Melayu itu sendiri yang hidup melanggar syarak agama dan memusnahkan diri sendiri.\nSpektrum kesedaran semangat kebangsaan yang matang di tangan penulis-penulis awal Pulau Pinang mungkin perlu dilihat untuk menjadi spektrum baharu kesedaran kebangsaan hari ini \u2013 memandangkan pemimpin dan ahli politik Melayu sejak berdekad-dekad menunggang sentimen semangat kebangsaan mengatagoniskan kaum lain bagi menghalalkan perbuatan mereka menyelewengkan dan meranggah rasuah sehingga menghancurkan bangsa Melayu. Seperti yang digambarkan oleh Ahmad Rashid Talu dan Aziz Iskandar Merican \u2013 yang menjahanamkan bangsa Melayu ini ialah orang Melayu sendiri \u2013 tiada sesekali bangsa lain.\nBeli novel Aci Patmabi di sini.\n_________________________\nS.M. Zakir atau nama penuhnya Syed Mohd Zakir bin Syed Othman dilahirkan pada 4 Februari 1969 di Kota Bharu, Kelantan. Beliau memulakan kerjaya dalam industri media sebelum menjadi penulis sepenuh masa pada tahun 2000. Sepanjang berkarya, S.M. Zakir telah menerima banyak hadiah dan anugerah sastera, seperti Hadiah Sastera Malaysia 1994/1995 bagi kumpulan cerpen Merengkuh Langit (DBP, 1995) dan Anugerah Sastera Negeri Kelantan bagi kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibrail (Pustaka Nusa, 2001), selain Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil, Hadiah Sastera DBP-Maybank, Hadiah Sastera 100 tahun Kuala Lumpur DBP-DBPKL, Hadiah Formula Malaysia, dan Anugerah GAFIM (kritikan filem). Beliau juga telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Muda Mastera 2010 dan penerima SEA Write Awards (Malaysia) 2011." "Krisis Anak Muda Usia 20-an Perlukan Perbincangan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMalam Khamis, 8 Julai diisi dengan program bual santai dan perkongsian cerita Curhat JIWA \u201cMalam ini Kita Cerita tentang Quarter-Life Crisis\u201d. Program bicara ini dibawa oleh JIWA pada pukul 9.30 malam di Twitter Spaces @WehNakBacaApaNi dan @inibukujiwa. Curhat JIWA kali ini dihoskan oleh Duta Buku JIWA, Iman Danial Hakim dan Pengarah Jiwa, Mohd Hafizul Faiz.\nPerbincangan tentang krisis \u201csuku\u201d usia (quarter-life crisis) yang melanda generasi muda kini menjadi lebih getir dengan episod panjang pandemik dan keadaan berkurung. Selaluanya, krisis ini mula timbul dalam kalangan usia 20-an sehingga awal 30-an dalam kalangan anak-anak muda. Fenomena krisis ini mula dilaporkan seawal tahun 2004 apabila didapati terdapat anak muda pasca Alaf 21 selepas keluar dari institusi pengajian tinggi, sudah mula berasa tekanan realiti hidup era hiper materialisme dan persaingan sengit dalam dunia pasaran kerja. Hal ini membuka laluan kepada enam pendengar yang berani berkongsi luahan hati, ilmu dan tip kehidupan.\nMereka berkongsi tentang cabaran menjadi anak yang baik apabila berhadapan dengan jurang generasi yang besar dengan ibu bapa, tekanan sosial, persoalan identiti diri, hala tuju kehidupan, memulakan dan bertukar kerjaya dalam era pandemik, memilih kerjaya yang menghidupkan jiwa, pengembaraan spiritual, dan kepentingan kesihatan mental.\nSesi ini dibicarakan supaya dapat mendorong orang ramai untuk meluahkan setiap hal yang terbuku dalam hati bagi melegakan kekusutan yang dialami. Melalui berkongsi masalah, seseorang dapat mengurangkan stres yang dihadapi serta menerima bantuan yang diperlukan bagi menjaga kesihatan mental dan emosi. Krisis ini penting untuk dibincangkan, terutamanya pada peringkat awal untuk mengelakkan orang muda menjadi dewasa yang berjiwa kecil dan tidak dapat menyumbangkan manfaat besar kepada masyarakat.\nHal yang menarik lagi, terdapat tiga buah buku yang disentuh oleh Hafizul Faiz yang berkait rapat dengan tema perkongsian cerita kali ini. Tiga buku tersebut ialah novel Ranjau Sepanjang Jalan oleh Sasterawan Negara Shahnon Ahmad yang membentangkan kepentingan sokongan dan kesedaran tentang masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat tempatan, Secrets of Divine Love: A Spiritual Journey into the Heart of Islam oleh A. Helwa tentang pengembaraan spiritual, dan Love Looks Pretty on You oleh Lang Leav tentang anak-anak yang menghidupkan cita-cita dan impian yang dikorbankan oleh ibu bapa bagi mendapatkan kehidupan keluarga yang lebih baik. Sesi Curhat JIWA kali ini berlanjutan lebih daripada dua jam dan tamat pada pukul 12.00 tengah malam." "Adunan Keprihatinan dan Pengalaman dalam Cerita Sarah Leong\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nOsman Ayob menulis tentang kumpulan cerpen perseorangan terakhir Allahyarham Malim Ghozali PK, yang amat terkenal sebagai seorang pengembara benua dan manusia.\nMalim Ghozali menyemarakkan persoalan muhibah dan cinta rentas budaya yang berakhir dengan pembentukan generasi baharu yang berfikiran sekular dan lebih terbuka demi kebaikan bersama.\nGabungan pengalaman lampau yang terhasil daripada pengembaraan pengarang ke beberapa buah negara dan pada masa yang sama terbabit pula dalam hubungan sesama manusia daripada pelbagai bidang kehidupan merupakan suatu kelebihan bagi Malim Ghozali PK. Kumpulan cerpen terakhirnya, Cerita Sarah Leong yang memuatkan 20 buah cerpen garapan pengalaman dan kembara pelbagai rangkaian pertemuan dan kisah peribadi yang dihasilkan pada tahun 2014\u20132019 menyerlahkan bakat dan kekuatan beliau sebagai cerpenis yang cukup prihatin dengan persekitaran yang dialaminya. Setiap ceritanya penuh dengan aksi dan perilaku manusia dalam usaha mengejar cita-cita.\nMalim Ghozali gemar menggunakan watak \u201caku\u201d dalam cerpennya. Dalam kumpulan ini, 13 buah cerpen beliau menampilkan nama \u201caku\u201d sebagai peneraju cerita. Dari satu aspek, penggunaan watak \u201caku\u201d memudahkan pengarang mempersembahkan cerita, kerana \u201caku\u201d secara langsung berfikir, bermonolog dan berdialog dengan watak lain yang secara tuntas mencungkil segala pengalaman dan idea, lalu sebatilah perkongsian komunikasi antara satu sama lain yang sentiasa mengejar cita-cita dan identiti diri.\nMelalui cerpen \u201cPesanku Pada Hujan\u201d, ditonjolkan gandingan \u201caku\u201d (seorang penulis dan nasionalis) dengan Kiai Mutalib ditahan kerana mengajar tanpa tauliah, dan Datuk S seorang YB yang tiada pendirian. Hal ini dilukiskan dengan aksinya yang gemar memakai songkok, ketayap, tarbus dan topi koboi, ditangkap kerana berkhalwat dengan janda beranak dua, kemudian dituduh di bawah ISA. Dalam situasi ini, mereka bertelagah dan mengeluarkan pendapat bagi menegakkan pendirian masing-masing. Akhirnya, ketiga-tiganya dibebaskan tanpa syarat.\nMalim Ghozali juga tidak lepas daripada merakamkan persekitaran keluarga dan kampung halamannya. Dalam cerpen \u201cApi dan Angin\u201d, \u201caku\u201d jatuh cinta pada Ika tetapi dibantah oleh Emak dan Opah. Emak dan Opah mencadangkan beberapa calon lain, tetapi tidak dapat diterima oleh \u201caku\u201d. Atas desakan \u201caku\u201d, Zika akhirnya dapat bersemuka dengan Emak dan Opah dengan membawa Batik Pekalongan sebagai buah tangan. Walau bagaimanapun, Zika menyedari bahawa hadiah diterima dengan \u201cpesam-pesam kuku\u201d, menandakan dia tidak dapat memikat hati Emak dan Opah.\nHal ini berbeza dengan cerpen \u201cSaat Tren Berangkat\u201d. \u201cAku\u201d pulang ke kampung dan hanyut dalam kenangan silam. \u201cAku\u201d teringat kisah pertemuan dengan Tijah di stesen kereta api yang telah berubah wajah setelah perkhidmatan ETS dimulakan. Di stesen itu dulu, \u201caku\u201d terserempak dengan Tijah yang mahu ke Ipoh untuk memulakan kerjaya sebagai seorang guru, manakala \u201caku\u201d ke selatan untuk bekerja di Kuala Lumpur. Pertemuan itu merupakan pertemuan terakhir kerana cinta yang tidak kesampaian. Bagaimanapun, \u201caku\u201d yang belum berkahwin dan membawa diri hingga ke London memutuskan untuk pulang ke kampung setelah bersara. Rakan-rakannya, Basya, Mahmud Lonjong, Cikgu Bodin memutuskan untuk bertemu di gerai Tijah di simpang jalan. Tijah seorang janda (suaminya meninggal kerana serangan jantung) membina warung sebaik bersara dan kini dibantu oleh anak-anaknya. \u201cAku\u201d mengajak Tijah ke stesen kereta api yang telah berubah wajah. Di situ, mereka terkenang kisah silam. Kali ini \u201caku\u201d tidak lagi gentar menentang \u201csepasang sinar mata Tijah yang jernih\u201d.\nSeperti cerpen-cerpen lain, Malim Ghozali menamatkan cerpennya secara tergantung. Dia semacam meninggalkan satu lompang untuk ditafsirkan kesudahannya oleh pembaca. Trend ini sama dengan cerpen-cerpen berwatak \u201caku\u201d yang lain. Di samping itu, sebagai penulis pengembara, beliau banyak menggunakan pengalamannya mengutip dan mengaitkan kisah pengembaraannya dalam cerpen-cerpennya. Melalui cerpen \u201cKubra Oh Kubra\u201d misalnya, Malim mengisahkan \u201caku\u201d ketika bersiar-siar di London, bertemu dengan Kibra, seorang bekas pekerja restoran mamak di Perak. \u201cAku\u201d juga bertemu dengan Yin, peraih durian, kini menjadi tukang sulap. Arbaayah yang dulunya free hair kini bertudung. Demikian perubahan seseorang diubah mengikut peredaran masa dan persekitaran. \u201cAku\u201d seorang penyair, juga belum berkahwin biarpun setelah bersara. Kota London yang kosmopolitan itu membawa \u201caku\u201d ke Taristok untuk makan di Perak Recipe. \u201cAku\u201d tersua dengan Kibra tetapi tidak sempat ke rumahnya kerana mengejar waktu penerbangan pulang ke Malaysia.\nPerubahan sikap juga terungkap dalam cerpen \u201cTeman Penyair dari Batam\u201d. Setelah empat dekad berlalu, \u201caku\u201d bertemu kembali dengan Mizi di Batam. Daripada berambut gondrong dan tidak keruan, Mizi sudah menjadi pendakwah, mengajar qasidah dan berzanji. Kerana fanatiknya, Mizi hampir bergaduh dengan pekerja warung kopi kerana memakai topi Santa Claus. Sama halnya dengan cerpen \u201cSuatu Malam di Sri Ratu Safiatudin\u201d. \u201cAku\u201d seorang pensyarah menemui Mawardi seorang wira Gerakan Aceh Merdeka yang pernah beberapa kali mengunjungi Malaysia. Mawardi yang rapat dengan Adha mendorong \u201caku\u201d untuk menemui pelajar pintar tetapi kejutan berlaku apabila aku mendapat tahu Adha sudah menghilangkan diri sebaik tsunami melanda dan menyebabkan seluruh keluarganya lenyap.\nKembara \u201caku\u201d ke Lombok dan pertemuan dengan Kang Usin membawa satu falsafah tentang hubungan kekeluargaan. Melalui cerpen \u201cKang Usin Tukang Rojak\u201d memaparkan bagaimana penjual rojak itu kesepian kerana dua orang anaknya, seorang di Eropah dan seorang lagi di Amerika, tidak pernah menjenguknya lagi. Kang yang menghadapi tekanan, mati dalam kemalangan dan hal ini amat menyentuh hati \u201caku\u201d. Perihal orang tua diusik oleh masa lampau turut terungkap dalam cerpen \u201cPerahu Tua Teras Bitanggor\u201d. \u201cAku\u201d pulang ke kampung setelah syarikat tempat \u201caku\u201d bekerja bankrap. Di kampung, \u201caku\u201d ingin merealisasikan wasiat orang tua yang menghendaki \u201caku\u201d menggunakan semula perahu tebuk teras bitanggor untuk menangkap ikan. Kemahuan ini dibantah oleh sang isteri yang mahu \u201caku\u201d menggunakan bot moden GRP dan enjin sangkut. \u201cAku\u201d bertegas, selain mengekalkan nilai sentimental, \u201caku\u201d bagaikan diusik oleh burung-burung ganjil yang melintas tasik dari benua jauh. Walaupun tidak mempunyai zuriat, \u201caku\u201d teringat pesan ayah supaya anak cucu cicitnya mewarisi pembuatan perahu tebuk agar tidak pupus dimakan masa.\nKisah perjuangan terhadap tanah air dicetuskan melalui cerpen \u201cAkhirnya Kutemui Haadyai ll\u201d. Sebagai seorang warga emas, \u201caku\u201d menaiki ETS dari Kuala Lumpur ke Padang Besar. Dari situ, \u201caku\u201d mahu menyambung perjalanan ke Haadyai untuk satu kegiatan baca puisi di Prince of Songkhla University. \u201cAku\u201d berasa beruntung lantaran rakan penumpang di sebelah merupakan seorang pemuda bernama Seni Madman dari Narathiwat. Dengan menggunakan nama samaran, Abu Daud merupakan seorang pejuang PULO yang cukup terkesan dengan tragedi Takbai yang menyebabkan beberapa orang dalam keluarganya terbunuh. Abu Daud meninggalkan kariernya sebagai pensyarah di Thaksin University dan terbabit dalam perniagaan yang membawanya berulang-alik ke Malaysia. Bagaimanapun, kepulangan Abu Daud ke Thailand dapat dihidu oleh tentera Thailand. Dalam satu pertempuran di Stesen Kereta Api Haadyai, Abu Daud terbunuh. Walaupun acara baca puisi dibatalkan, \u201caku\u201d berharap dapat menemui Dr. Qasidah bagi menyerahkan surat Abu Daud kepada ibunya.\nKisah yang dipaparkan dalam cerpen \u201cMenanti Matahari Terbenam di KP\u201d menyentuh tentang seorang tua yang kaya dengan pengalaman tetapi teruja dengan persekitaran yang dimamah pembangunan. Kawasan kediamannya yang dulu malap, kini menjadi kawasan elit yang menjadi rebutan ramai dan bernilai tinggi. Anak perempuan Dia dari Dubai begitu cerewet dalam pembelian hartanah. Dia mahu pindah sahaja, tetapi dua orang anaknya membantah. Mereka lebih suka tinggal di apartmen yang mempunyai kawalan keselamatan dan kemudahan sukan selaras dengan keperluan hidup moden mereka.\nSelebihnya, cerpen-cerpen yang termuat dalam kumpulan ini menyentuh tentang mahalnya nilai pembangunan dan kemodenan yang menenggelamkan nilai tradisional, lalu hanya akan terselit dalam lipatan kenangan. Hal ini dapat diikuti dalam cerpen \u201cTanah\u201d, \u201cGuru\u201d, \u201cAir\u201d dan \u201cCikgu Puisi\u201d, manakala persoalan tentang baik hati orang-orang Melayu terhadap golongan imigran terungkap dalam cerpen \u201cCerita Sarah Leong\u201d. Malim Ghozali menyemarakkan persoalan muhibah dan cinta rentas budaya yang berakhir dengan pembentukan generasi baharu yang berfikiran sekular dan lebih terbuka demi kebaikan bersama.\nDalam kumpulan cerpen ini, Malim Ghozali PK berjaya menyeimbangkan rentak persembahan cerpennya dengan dialog yang bernas, tersirat dengan makna yang mengungguli falsafah yang padat dengan pengajaran. Di samping itu, cerpen-cerpennya kali ini mempunyai gaya bahasa yang mantap. Cerpen-cerpen Malim seperti biasa, dibantu oleh landskap yang padat dan teliti dan hal ini banyak membantu untuk membina kekuatan naratif cerpennya, sesuatu yang perlu ada dalam sesebuah karya sastera yang bermutu.\nBeli kumpulan cerpen Cerita Sarah Leong di sini.\n_________________________\nOsman Ayob sudah menghasilkan lebih daripada 166 cerpen yang tersiar dalam pelbagai akhbar dan majalah. Beliau juga telah memenangi pelbagai hadiah peringkat negeri dan kebangsaan, termasuk kumpulan cerpen Bayangan Silam yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009. Novel remaja Osman, Meniti Impian pernah menjadi teks KOMSAS tingkatan dua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan bagi tahun 2016\u20132020. Kumpulan cerpen beliau yang telah diterbitkan ialah Bayangan Rindu (1981), Musim itu Telah Berlalu (1984), Detik yang Tergugat (1988), Di Pinggir Kesedaran (1993), Melamar Rindu (2001), Bayang Silam (2009), Perginya Seorang Srikandi (2011), Tembok Masih Tinggi (2014), dan Gila Tak Gila (2017). Novel dewasa beliau ialah Warna Sebuah Lembah (1990), Embun di Hujung Daun (1999), Ombak Bukan Penghalang (2007), Empangan Tugal (2010), Lembah Kencana (2012), Anak Primadona (2012), CEO Baru (2013), Dukhan: Langit Akhir Zaman (2013), dan Kugenggam Tanganmu (2018)." "Prosa Beradaptasi Mengikut Zamannya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerbincangan sesi Mengopi Puisi (Episod 3) berlangsung dengan tajuk \u201cAsyik Puisi, Prosa Macam Mana?\u201d secara maya di media sosial Twitter @katapilarbooks pada 9 Julai (Jumaat) jam 9.15 malam. Acara perbincangan terbuka ini dikendalikan oleh Za\u2019im Yusoff dan Fahd Razy, menampilkan lima orang pembicara, iaitu Rebecca Ilham, Hafizah Iszahanid, Shahkang, Khairil Idham Ismail, dan Wan Nor Azriq. Kesemua panel yang dijemput kali ini berlatarbelakangkan penulis karya cerpen dan novel.\nZa\u2019im Yusoff sebagai pengelola memulakan suasana polemik dengan membawa perhatian tentang status kerelevanan sesebuah prosa dalam dunia moden apabila pelbagai medium baharu untuk manusia semakin mengambil tempat dan masa masyarakat pada era internet sekarang. \u201cAntara puisi dengan prosa, secara peribadinya saya sendiri lebih memilih untuk membaca puisi,\u201d ujar Za\u2019im.\nRebecca Ilham dalam hal ini meyakini bahawa taraf prosa dalam masyarakat masih lagi relevan. \u201cBagi saya, prosa ialah satu bentuk penulisan yang boleh beradapatasi dengan masa dan platform, pada masa akan datang dan seterusnya.\u201d\nZaman teknologi kini membuktikan lagi yang prosa berkembang dan beradapatasi dengan pembacanya. Ruang-ruang digital yang memuatkan hantaran menjadi ruang untuk para penulis dapat menulis prosa. Malah di Twitter kini, dengan adanya fungsi rajutan, maka akan berjelalah hantaran yang dapat membentuk satu untaian cereka atau esei yang ringkas.\nShahkang tidak menafikan akan fenomena zaman teknologi dan menyuarakan cabaran karyawan zaman sekarang untuk menjadikan prosa-prosa itu kekal relevan. Sementara itu, Wan Nor Azriq menyatakan yang prosa akan sentiasa relevan, kerana manusia akan sentiasa mencari cereka dan cerita dalam kehidupan.\nPembacaan prosa memberikan perbezaan yang signifikan dalam pengalaman pembaca daripada medium filem dan televsiyen. Menurut Hafizah, prosa memberikan ruang kebebasan untuk berimaginasi dan berfikiran kritis yang sangat besar kepada pembaca berbanding menonton sesebuah filem.\nPerbincangan diteruskan dengan persoalan status karya yang diterima hari ini. Sebagai \u201cpenjaga pintu\u201d dalam penyiaran cereka penulis tanah air, Hafizah menyatakan industri penyiaran kini tiada isu dalam kuantiti karya yang dihantar, tetapi yang perlu diperbanyak lagi ialah karya yang berkualiti dan membawa nafas baharu.\n\u201cKita perlukan karya (prosa) yang merefleksi masyarakat hari ini, sama ada dalam isu kesihatan, ekonomi, politik, sosial dan pendidikan. Saya tak dapat cerpen yang boleh respon pada isu-isu ini, yang juga menutup keberanian mereka dengan artistik,\u201d katanya.\nKhairil Idham pula menyatakan, \u201cPenulis perlu memainkan peranan untuk merakam zaman dengan karya-karya yang berbentuk refleksi mayarakat. Namun, perlu juga kebijaksanaan penulis untuk menggaul naratif dan mesej dengan nilai estetika, apakah falsafahnya, nilai intelektual dan emosi yang dia cuba disampaikan.\u201d Khairil menekankan kepentingan untuk menjaga kebijaksanaan karya yang juga menyuarakan kritikan sosial semasa bagi mencetuskan rasa emosi dan empati pada karya.\nDalam hal mutu prosa pula, Shahkang menambah, \u201cSebagai seorang penulis, saya menjadikan mesej dan penyampaian sebagai tunjang utama. Tetapi kita sendiri sebagai penulis mempunyai cara yang berbeza dalam menulis, contohnya aspek jalan cerita dan sebagainya.\u201d\nWan Azriq menambah yang karya fiksyen tidak perlu dijadikan kritikan sosial pada setiap masa, kerana hal itu bukanlah identiti sastera prosa dan fiksyen sebenarnya. Namun beliau setuju bahawa karya prosa perlu berperanan sebagai perakam zaman." "Penyair Islam Penyair Bermanfaat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRaja Yusoff Ariffin mendampingi tokoh teater dan persajakan tanah air, Datuk Che Shamsudin Osman atau Dinsman, untuk menekuni nilai yang sesuai bagi penyair mengikut Islam.\nAda yang menulis puisi ketuhanan (kerana beragama Islam), mempersoal keruntuhan moral, kritikan social dan sebagainya. Walau bagaimanapun, amat malang mereka sendiri tidak menunaikan suruhan Tuhan, sebaliknya melakukan perkara-perkara yang dilarang.\nGolongan penyair telah muncul sejak sebelum kedatangan Islam lagi, iaitu semasa zaman Arab jahiliah. Dalam sejarah manusia, ada kaum yang diberikan kelebihan atau keistimewaan tertentu. Ada yang handal dan bijak dalam bidang seni bina. Ada juga yang hebat dalam ilmu sihir. Kaum sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW atau zaman jahiliah diberikan kebolehan dalam bidang kebahasaan dan kesusasteraan. Era itu, ramai penyair muncul daripada sayembara menulis puisi yang diadakan pada setiap tahun. Karya-karya yang menang dipamerkan pada dinding Kaabah di Mekah.\nWalau bagaimanapun, semua puisi tersebut bukanlah karya yang bernilai murni dan bermanfaat kerana kebanyakannya hanya memuji-muji pemimpin mereka biarpun berperibadi buruk, melakukan banyak dosa dan kezaliman. Tidak banyak puisi yang mengajak ke arah kebaikan.\nSetelah kedatangan Islam, golongan penyair tersebut masih ada, malah memainkan peranan tambahan. Puisi-puisi mereka memburuk-burukkan, serta menghina Islam dan Nabi Muhammad pula.\nSebenarnya, Allah SWT tidak menolak golongan penyair. Namun demikian, Dia turut memberikan panduan dan peringatan agar mereka tidak melanggar syariat Islam, seperti yang ditegaskan menerusi firman-Nya dalam ayat 224\u2013227, Surah Asy-Syu\u2019araa, yang bermaksud:\nDan penyair-penyair itu diikuti orang-orang yang sesat. Tidakkah kamu melihat bahawasanya mereka mengembara di tiap-tiap lembah dan bahawasanya mereka suka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak mengerjakan(nya)? Kecuali orang-orang (penyair-penyair) yang beriman dan beramal soleh dan banyak menyebut Allah dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman. Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali.\nBerdasarkan ayat ini secara keseluruhannya, boleh diketahui dengan jelas bentuk dan peranan penyair yang dikehendaki oleh Islam. Keadaan semasa zaman jahiliah dengan zaman moden hari ini didapati tidak banyak pun perbezaan. Kebanyakan penyair sekarang menghasilkan puisi tentang peribadi, cinta murahan dan hal-hal lain yang mengkhayalkan. Dari segi lain, ada pula penyair yang terlalu berahsia dalam puisinya untuk tatapan umum sehingga karya sajaknya mengikut aliran surealisme (yang hanya difahami oleh penyairnya). Disedari atau tidak, aliran ini sebenarnya diamalkan oleh para penyair Arab jahiliah.\nAda yang menulis puisi ketuhanan (kerana beragama Islam), mempersoal keruntuhan moral, kritikan social dan sebagainya. Walau bagaimanapun, amat malang mereka sendiri tidak menunaikan suruhan Tuhan, sebaliknya melakukan perkara-perkara yang dilarang. Mereka juga tidak bersopan dan berbudi pekerti. Melihat kembali ayat tadi, inilah yang dimaksudkan sebagai penyair sesat (\u201cdiikuti orang-orang yang sesat\u201d), berkhayal kosong (\u201cberjalan di lembah-lembah\u201d), berada di tempat-tempat yang tidak sewajar atau secocoknya, dan suka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak lakukan, atau \u201ccakap tidak serupa bikin\u201d.\nMereka juga secara tidak langsung menyebabkan atau mendorong timbulnya salah anggap masyarakat terhadap penyair dan puisi.\nAllah yang berfirman, maka pastilah Dia yang lebih mengetahui daripada kita umat-Nya. Namun demikian, sebagai manusia yang waras akal fikiran, kita dapat memahami bahawa mereka bukan penyair yang Dia redai. Bagi-Nya, merekalah penyair yang berdusta dan tidak memberikan sebarang sumbangan kepada masyarakat. Bagaimana mungkin dapat berbakti sedemikian kerana mereka sendiri yang seolah-olah membunuh peranan tersebut. Mereka bagaikan tidak tahu penyair mempunyai peranan yang besar dan positif.\nBegitu pun, berdasarkan ayat tadi sekali lagi dinyatakan, Allah tidak melarang kehadiran golongan penyair, dan menegah manusia yang menyembah-Nya menjadi penyair. Allah tetap menerima kerana penyair ada manfaat yang tersendiri kepada Islam.\nSetiap orang Islam boleh menjadi penyair jika berbakat dan berminat. Bakat atau kebolehan dan minat merupakan kecenderungan sendiri kurniaan Allah SWT. Walau bagaimanapun, tentulah dengan syarat si penyair menggunakan bakat dan minat tersebut sewajarnya. Jadilah penyair yang sentiasa sedar dan berada dalam batas-batas Islam.\nPada zaman Rasulullah SAW sendiri, terdapat beberapa orang penyair Islam yang bangkit menonjolkan bakat, malah diminta oleh Baginda mencipta, serta membaca puisi-puisi yang menceritakan kesucian dan kebenaran Islam untuk menangkis puisi-puisi para penyair jahiliah yang menghina Islam.\nSalah seorang yang terkenal dan digelarkan sebagai penyair Rasulullah ialah Hasan bin Thabit. Hasan juga diangkat oleh Nabi Muhammad menjadi jurucakap Baginda.\nHasan sendiri memang seorang penganut Islam yang taat kepada Islam dan Allah, malah hal itu juga merupakan faktor beliau layak menjadi penyair Rasulullah. Kehadiran Hasan dan beberapa orang lagi penyair dalam dunia Islam ketika itu secara tidak langsung membezakan antara penyair sesat dengan penyair bermaruah dan beragama. Mereka merupakan penyair yang direstui, malah dipandu oleh Allah menjadi penyair beriman dan beramal soleh menerusi ayat \u201cKecuali orang-orang (penyair-penyair) yang beriman dan beramal soleh dan banyak menyebut Allah dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman.\u201d\nErtinya, mereka kuat beribadat, tidak melakukan apa-apa yang dilarang, melakukan apa-apa yang dikatakan \u201ccakap serupa bikin\u201d, mendapat rahmat dan juga perlindungan Allah kerananya, meskipun ditindas oleh pemerintah yang zalim, atau berada dalam suasana gawat.\nKemunculan para penyair yang menghasilkan puisi bernas dengan isinya memaparkan kritikan sosial, puji-pujian meninggi, dan mempertahan syiar Islam dalam bahasa yang komunikatif dengan pembaca khususnya, dan masyarakat umumnya, serta berperibadi mulia lagi terpuji memang amat dituntut, malah dialu-alukan oleh Islam.\nTidak berguna atau sia-sia jika salah satu daripadanya tiada. Kalau sekadar isi sahaja memenuhi apa-apa yang dituntut oleh Islam, sedangkan alat untuk menyampaikannya kepada pembaca, iaitu bahasa tidak difahami, rangkaian itu masih belum sempurna. Dengan bahasa yang mudah pula tetapi mesej karyanya boleh merosakkan pemikiran pembaca, hal itu juga belum lengkap \u2013 apatah lagi dengan peribadi penyair itu sendiri yang buruk.\nSaya fikir, para penyair beragama Islam hari ini perlu berwaspada agar tidak terjerumus sehingga digelar oleh pihak yang tidak berminat, malah yang berminat dengan puisi itu sendiri sebagai penyair sesat dan tidak bermanfaat.\nJusteru, berpuisi dan bergiatlah dalam lingkungannya dengan penuh kesedaran Islam. Usah melampaui batas sehingga terlalu mengambilnya, dan dalam masa yang sama menolak yang lebih utama, iaitu tuntutan agama. Janganlah sehingga dianggap sebagai manusia daripada golongan yang:\nManusia memang memikul tanggungjawab berat, apatah lagi setelah memilih menjadi penyair. Manusia yang menjadi penyair (dalam konteks ini, penyair Islam) ialah manusia yang luar biasa dan berbeza daripada manusia lain kerana di samping ada bakat, sensitiviti dan sebagainya, mereka juga mempunyai peranan tambahan yang masih berdasarkan matlamat \u201cmenyeru kepada kebaikan\u201d, di samping menjadi pemikir. Itulah sebenarnya amanah Allah untuk mereka.\nErtinya, mereka tidak menunaikan amanah Allah jika tidak menyeru orang lain di samping diri sendiri kepada kebaikan, dan menyatakan kebernasan pemikiran melalui puisi mereka. Meskipun jika hanya mereka yang melakukan kebaikan tanpa mengajak orang lain, atau mereka tidak melakukan seperti apa yang diseru kepada orang lain, kedua-duanya berkaitan, tidak sempurna dan menyempurnakan, serta ditolak.\nTidak mustahil ada penyair yang mungkin \u201csesat\u201d dan \u201cmenyesatkan\u201d serta seniman yang \u201cmemesongkan\u201d dan \u201cmerosakkan\u201d pemikiran orang ramai. Namun demikian, memang ada penyair yang sentiasa sedar akan batas Islam, beriman, beramal soleh dan berdakwah dengan sewajarnya.\nGolongan penyair \u201csesat\u201d diharap akan insaf dan menjadi penyair yang termasuk dalam ungkapan yang dikatakan sebagai golongan penyair Islam (menurut ayat 224\u2013227 Surah Asy-Syu\u2019araa).\nWalau bagaimanapun, harus disedari, selain turut berdoa memohon hidayat Allah untuk menyedarkan golongan penyair \u201cterpesong\u201d, Allah tidak mengubah kedudukan sesuatu golongan itu jika golongan tersebut sendiri tidak berminat dan berusaha mengubahnya.\n_________________________\nRaja Yusoff Ariffin atau Raja Yusoff Raja Ariffin dilahirkan pada 21 Ogos 1962 di Pulau Tiga Kanan, Parit, Perak. Beliau menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Raja Yusoff merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur, rakan Tajulmedia Melayu dan pernah menganggotai PAKSI. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun \u201cBeraya di Kampung Warisan Melayu\u201d Satu Property (2020)." "Sastera dalam Dunia Natif Digital\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\n\nKuala Lumpur \u2013 Program Wacana 152 DBP: Api Dari Suatu Zaman sempena 65 tahun pertubuhan badan berkanun ini bersiaran melalui Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 12 Julai 2021 (Isnin), pukul 9.30 pagi. Wacana menampilkan YBhg. Dr. Abang Patdeli Abang Muhi selaku moderator dan YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato\u2019 Dr. Anwar Ridhwan selaku ahli panel.\n\nAwang Sariyan memulakan wacana dengan penceritaan sejarah pembentukan DBP seawal tahun 1956. Katanya, \u201cSecara simboliknya, dalam tempoh setahun sebelum hari kemerdekaan, negara kita telah mempersiapkan satu bahasa yang menjadi bahasa negara, iaitu bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa bagi tonggak tamadun negara.\n\u201cTempoh itu penting bagi DBP mempersiapkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara terutama sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, pentadbiran dan sebagainya serta seterusnya sebagai bahasa ilmu.\u201d\nBeliau berkata, secara keseluruhannya DBP telah mencapai kejayaan dengan menjalankan amanah yang telah diberikan untuk mengangkat bahasa dan sastera kebangsaan serta ilmu dalam pelbagai bidang sebagai sumber penting pembangunan tamadun negara.\n\nDalam pembangunan sastera kebangsaan, Anwar Ridhwan\u00a0 memperkata tentang ungkapan lirik atau slogan \u201cApi dari suatu zaman\u201d yang ditulis oleh SN Usman Awang. Slogan ini perlu diterjemahkan secara meluas terutama dalam bidang sastera negara.\nPada awal perkhidmatan Anwar Ridhwan, DBP menjalankan kerja-kerja mewujudkan korpus aspek persejarahan sastera, iaitu sastera tradisional, persejarahan moden dan menerbitkan Kamus Kesusasteraan. Kemudian DBP mengadakan bengkel-bengkel penulisan peringkat wilayah di Semenanjung dan Sabah Sarawak. Mula timbul bakat-bakat baharu yang mewarnai bidang sastera negara atas usaha itu.\nBeliau menambah, \u201cSastera dianggap sebagai cerminan jiwa sesuatu bangsa yang dinukilkan melalui bahasa gaya sastera yang kreatif dan indah, yang mengandungi pemikiran untuk membijaksanakan pembaca dan juga untuk memberikan pengalaman estetik yang tinggi\u201d.\nHal ini terkait juga dengan pendidikan, iaitu pendidikan formal dan pendidikan tidak formal. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk memupuk minat sastera dalam kalangan anak-anak mereka.\n\u201cKita harus menggunakan pelbagai platform bagi mengembangkan sastera ini, kerana kita sekarang berhadapan dengan generasi muda warga natif digital,\u201d ujar Anwar.\nProgram wacana ini boleh ditonton di sini." "Pencalonan SEA Write Award 2021 Dibuka\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pemilihan anugerah persuratan terbilang di Asia Tenggara kini kembali bagi tahun 2021. Dewan Bahasa dan Pustaka selaku Sekretariat Tetap SEA Write Award (Malaysia) mempelawa mana-mana institusi, badan yang sah dan berdaftar serta orang perseorangan yang berwibawa dalam bidang sastera untuk mengemukakan pencalonan bagi tahun ini.\nDua tahun lepas, pengumuman dibuat bagi ketiga-tiga penerima dari Malaysia, iaitu Rejab Ismail atau lebih dikenali sebagai Rejab F.I. (tahun 2016), Zainal Abidin Suhaili atau lebih dikenali sebagai Abizai (2017), dan Prof. Madya Dr. Mawar Safei (2018). Majlis penganugerahannya terpaksa ditanggukan berikutan kemangkatan Raja Thailand, Duli Yang Maha Mulia Raja Bhumibol Adulyadej pada 13 Oktober 2016. Baginda digantikan oleh anakandanya, Duli Yang Maha Mulia Raja Maha Vajiralongkorn. Majlis penyampaian bagi ketiga-tiga penerima dari Malaysia berserta penerima dari negara ASEAN lain, iaitu Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina, Vietnam, selain tuan rumah Thailand, diadakan di Royal Ballroom, Hotel Mandarin Oriental, Bangkok pada 25 November 2019. Duli Yang Maha Mulia Puteri Sirivannavari Nariratana Rajakanya menyempurnakan majlis ini.\nSyarat dan peraturan pencalonan bagi penganugerahan ketokohan sastera paling ditunggu-tunggu di rantau ini adalah seperti yang berikut:\nTarikh tutup pencalonan ialah 16 Ogos 2021. Sila imbas kod QR pada poster di bawah atau klik di sini untuk muat turun Syarat dan Borang Pencalonan yang lengkap." "Bahasa dan Pilihan Raya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cHilang bahasa,\u00a0lenyaplah\u00a0bangsa\u201d dan itulah peribahasa yang cukup menggambarkan kemegahan yang ada pada sesuatu\u00a0bahasa. Dalam sejarah peradaban dunia juga membuktikan kehebatan bahasa Melayu pada suatu ketika dahulu telah terserlah apabila bahasa Melayu diangkat dan dijadikan sebagai lingua franca.\nBahasa Melayu juga tercatat dalam lembaran sejarah, yakni melalui satu proses asimilasi yang cukup kukuh sehingga mencapai fasa pemantapan. Bahkan, turut diakui bahawa darjat bahasa Melayu ini tidak ada tolok bandingnya apabila terpateri dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Akta Bahasa Kebangsaan Perkara 152.\nBahasa secara umumnya dapat ditakrifkan sebagai satu instrumen ataupun alat pengucapan manusia. Tanpa bahasa, manusia tidak mungkin dapat berkomunikasi dengan manusia yang lain. Takrifan ini selari dengan definisi yang tercatat dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), Dewan Bahasa dan Pustaka, yang mendefinisikan bahasa sebagai sistem lambang bunyi suara yang digunakan dalam sesuatu kelompok manusia untuk melahirkan perasaan dan fikiran. Oleh yang demikian, bahasa memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan seharian manusia.\nPilihan raya pula merujuk satu sistem pemilihan pemerintah, iaitu rakyat diberi kuasa dan pilihan untuk menentukan pemimpin di negara mereka melalui proses pengundian. Parti politik yang memenangi pilihan raya akan membentuk kerajaan dan mentadbir negara selama tempoh yang telah ditetapkan. Maka\u00a0itu, kepimpinan politik ini perlu menunjukkan hasil yang cemerlang dalam pemerintahan agar mereka ini terus menjadi pilihan rakyat. Sistem pilihanraya ini bukanlah sesuatu yang asing bagi negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Sistem demokrasi ini membentuk keadilan bagi rakyat dan menjamin keberhasilan kepimpinan pemerintahan.\nJalinan yang begitu utuh dapat dilihat antara bahasa dengan\u00a0pilihan raya. Bukan sekadar pilihan raya di dalam negara ini\u00a0tetapi di negara-negara luar juga menunjukkan satu hipotesis yang sama. \u201cSemakin cekap dan mahir ahli-ahli politik dalam sesebuah parti politik,\u00a0semakin banyak sokongan yang mereka akan raih dalam pilihan raya\u201d. Kesemua ini terbukti dalam siri-siri pilihan raya sebelum ini, iaitu kita dapat melihat bagaimana bahasa memainkan peranan\u00a0yang\u00a0penting dalam penulisan dan pengucapan ahli-ahli politik untuk meraih kemenangan daripada rakyat dalam pilihan raya.\nSelain daripada sumbangan dan pengaruh ketika berada dalam pemerintahan, sesebuah parti politik itu dinilai daripada kecekapan dan kemahiran untuk menyampaikan pemikiran, perjuangan dan jaminan untuk diberikan sokongan. Justeru, untuk menyampaikan pemikiran, perjuangan dan pemikiran,\u00a0seseorang ahli politik itu memerlukan kemahiran berbahasa yang kukuh untuk disampaikan kepada rakyat secara berkesan.\nMisalnya, hasil penggunaan bahasa dalam pilihan raya dapat dilihat melalui penulisan manifesto. Manifesto ini ialah janji kepada rakyat, bahkan kita sendiri dapat melihatnya. Ada pelbagai manifesto yang ditawarkan kepada rakyat jelata. Manifesto yang berkesan dan menjadi pilihan adalah manifesto yang dibina menggunakan bahasa secara berkesan untuk memujuk rakyat sebagai pengundi.\nSementara itu juga, ketika perkembangan media sosial mula menguasai kehidupan rakyat jelata, peperangan persepsi antara parti-parti politik di Malaysia mula tercetus menjelang pilihan raya. Pelbagai konflik dan serangan balas yang berlaku. Kesemua ini dibentuk dengan seni pemakaian bahasa yang berkesan. Malahan yang lebih menarik, seni pemakaian bahasa untuk memenangi perang persepsi ini juga dapat dilihat.\nSekalipun ada pelbagai kritikan dan kecaman, bahasa tetap digunakan untuk memainkan peranan\u00a0yang\u00a0penting bagi membentuk penjelasan. Kelangsungan sesebuah parti ataupun seseorang ahli politik bukan hanya bergantung pada pengaruh dan jumlah ahli di dalam partinya tetapi kelangsungan ini dibentuk melalui seni berpolitik yang berkesan untuk membentuk diplomasi dan persepsi rakyat. Kesemua ini disampaikan melalui komunikasi, yakni komunikasi yang berkesan adalah melalui seni pemakaian bahasa yang cekap dan berjaya membentuk keyakinan rakyat selaku kelompok sasaran.\nKesinambungan penggunaan bahasa secara berkesan ini juga dapat dilihat setelah ahli-ahli politik ini memenangi pilihan raya. Kredibiliti sebagai pemimpin bukan hanya dilihat daripada jumlah undi yang diraih atau dasar-dasar pembangunan yang diutarakan. Kredibiliti ini turut terserlah dalam penulisan dan pengucapan mereka. Bukan sahaja dengan seni penggunaan bahasa yang berkesan bukan dapat menjamin kemenangan dalam pilihan raya, malah selepas mencapai kemenangan, penggunaan seni bahasa yang berkesan ini diaplikasikan secara konsisten untuk mengekalkan diplomasi dan persepsi bersama-sama rakyat.\nDi samping itu, bahasa turut memainkan peranan yang penting dalam pengucapan ketika kempen pilihan raya. Dalam kempen pilihan raya, kita juga dapat melihat kecekapan pemakaian bahasa yang digunakan oleh ahli-ahli politik yang bertanding untuk membentuk satu kepercayaan kepada pengundi. Contohnya dalam pelbagai kaedah dan cara yang digunakan ahli-ahli politik ketika dalam proses berkempen secara fizikal ataupun melalui platform media sosial.\nWalau bagaimanapun, pemakaian bahasa yang berkesan dan meyakinkan sahaja yang akan menjadi pilihan pengundi. Di sinilah pentingnya kemuncak pengaplikasian bahasa yang berkesan digunakan untuk memujuk pengundi. Sebagai anak kelahiran Sabah, penulis melihat satu daripada ciri keistimewaan yang ada dalam pilihan raya yang berlangsung, iaitu dari aspek bahasa. Bahasa dan dialek digunakan sebagai satu alat komunikasi untuk berkempen. Keberkesanan penggunaan bahasa sukuan dan dialek menjadikan seseorang ahli politik itu lebih dekat dengan rakyatnya. Oleh sebab itu, bahasa dan pilihan raya tidak boleh dipisahkan. Seni pemakaian bahasa yang cekap dan berkesan dapat membentuk satu ikatan di antara ahli politik yang bertanding dengan rakyat jelata sebagai pengundi.\nKehadiran \u201cpengubah rentak\u201d atau pengundi baharu khususnya pengundi muda (18 tahun ke atas) di Malaysia menjadi satu cabaran besar buat parti-parti politik yang bakal bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) yang bakal diadakan nanti (hari mengundi). Perubahan dalam landskap politik negara pada tahun ini juga menyebabkan analisis kemenangan parti politik tidak dapat diramalkan. Strategi yang dibina oleh parti-parti politik perlu membentuk satu perubahan yang kukuh. Selain daripada strategi untuk mengekalkan kepercayaan dan sokongan daripada kelompok pengundi veteran, mereka juga perlu merangka satu strategi politik yang relevan dan berkesan, hatta yang melibatkan kelompok pengundi baharu.\nDianggarkan kehadiran \u201cpengubah rentak\u201d dalam pilihan raya yang bakal berlangsung nanti akan dapat menyaksikan pembaharuan strategi politik digunakan untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi-pengundi baharu. Pada masa yang sama, seni pemakaian bahasa yang diterampilkan juga secara tidak langsung turut melibatkan isu-isu golongan pengundi-pengundi baharu.\nKeunikan yang ada dalam PRU pada kali ini turut terserlah apabila melihat kehebatan parti-parti politik dalam pengaplikasian kecekapan berbahasa untuk menyampaikan pemikiran, perjuangan dan jaminan kepada rakyat. Tanpa pengaplikasian kecekapan berbahasa ataupun seni penggunaan bahasa dalam penulisan dan pengucapan yang berkesan, sudah tentu sesebuah parti politik sukar untuk memperoleh kemenangan.\nKonklusinya, bahasa dan pilihan raya mempunyai satu pertalian yang cukup kukuh. Tanpa penekanan terhadap seni penggunaan bahasa yang cekap dan berkesan sudah tentu pemikiran, perjuangan dan jaminan parti-parti politik tidak dapat disampaikan kepada rakyat untuk difikirkan dan dipertimbangkan. Keunikan pilihan\u00a0raya dalam negara ini turut tidak dinafikan dengan kepelbagaian parti politik dapat disaksikan\u00a0kepelbagaian\u00a0seni berbahasa yang digunakan untuk mengetengahkan aspirasi kepada rakyat jelata. Bahasa itu pemula lidah, penyambung niat manusia. Tanpa bahasa, manusia tidak akan mengenali manusia lainnya." "Usia di Dunia Fana\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSegala kudrat dan semua tekad yang hebat\ntidaklah sesat dapat menahan usia meningkat\nwaktu terus berlalu, dan masa terus mara,\nusia terus menambah bilangan angka\nDetik membidik, saat melipat,\nHari terus pergi, minggu terus menuju\nBulan terus berjalan, tahun terus bersusun\nmuda bertukar tua\nsihat bertukar sakit\nkuat bertukar penat\nbanyak peristiwa, hanya tinggal cerita\nbanyak kejadian, hanya tinggal kenangan\nbanyak cabaran, hanya tinggal pengalaman\nbanyak tangisan, hanya tinggal imbauan\nbanyak senyuman, hanya tinggal ingatan\nyang dibangga semalam, hari ini dibungkam\nyang dibenci hari ini, esok dipuji\nyang berjasa lama dilupa, yang baru pula dipuja\nbanyak budi hanya, terlipat dalam memori\njika kau ikhlas nurani, tersimpanlah ia di sisi Ilahi\njika kau ingin dipuja manusia, pasti kau akan kecewa\nusia terus melangkah menuju noktah\nindah, gundah, pasrah, lemah, megah, kalah\nbilah-bilah hidup mesti kau melangkah\njika reda manusia itulah cita,\npasti kau tidak temuinya sepanjang masa,\njika reda Tuhanmu adalah segala,\npuji dan keji sama sahaja, semuanya dimamah usia\nkau kan temui erti hidup di dunia, dan syurga di sana\ncinta Tuhan tiada penghujungnya\naduhai usia dan dunia yang fana!\nsegalanya adalah fatamorgana\nkemanisan iman nikmat benar adanya\naduhai zaman yang dipinjamkan\nsegala amalan hanya tinggal catatan\ntarikh akhir akan bertamu\nbagaimanakah kita nanti apabila bertemu\nTuhan Yang Satu, Pencipta Waktu\nKasihanilah daku.\n25 Januari 2021\nKangar, Perlis\nHak cipta teks dan video: Dr Maza" "Biar Tuah Menyendiri dalam Sepi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKita bertanya, \u201cDi manakah Tuah Sujana menghilang?\u201d Salman Sulaiman, sahabatnya, memberikan jawapan.\nDia mungkin lebih tenang keseorangan. Biarkanlah dia didiamkan alam, asalkan Tuhan memeliharanya dengan aman.\nBiarlah dia menyepi, kerana dengan jauh menyendiri dan bersunyi-sunyi itulah dia menulis karya-karya besarnya, karya-karya masa depannya. Kerana sejak dulu memang begitulah dia, itulah caranya.\nDia akan muncul dengan karangan ulungnya yang menyentuh hati. Dia akan muncul. Semporna sebenarnya terlalu indah menyembunyikannya di dalam pengap alam dan senyap pohonan. Dia terlalu asyik dengan pantai dan ikan, dengan laut dan karang. Kicau burung telah melupakannya pada tanah semenanjung.\nSeperti Kawabata yang diasyikkan gunung dan bulan. Dia sedang merenung hutan dan tumbuhan. Dia mungkin lebih tenang keseorangan. Biarkanlah dia didiamkan alam, asalkan Tuhan memeliharanya dengan aman. Kerana Semporna barangkali sudah begitu sempurna dan amat mempesona untuknya sebagai seorang pengarang.\nSeperti Hemingway, barangkali dia mahu merenung samudera dan bersahabat dengan laut. Atau sekadar duduk di jambatan melihat sungai, memerhati ikan dan sesekali mencari-cari kalau-kalau ada kelibat apa-apa binatang yang melintas atau terbang \u2013 diam di jambatan seperti seorang lelaki tua dalam \u201cThe Old Man at the Bridge\u201d.\nMungkin dia telah begitu senang bermain ombak, leka dengan deburan buih-buihnya, sebagaimana penyair Ai Qing dalam \u201cOmbak\u201d:\ndia juga suka ombak putih itu\ndia akan menggigit tebing curam\ndan kejam mematahkan dayung buritan mengoyakkan kain layar\ntidak tenteram sebentar\ndia dengan penuh hati memaparkan\nkisah sayu pelayar\nsejak dahulu kala\nmungkin tidak berbudi\ntapi dia indah\naku suka akan ombak putih itu\n\u00a0\u2013 bila buihnya memercikkan badanku\npernah aku melahirkan terima kasih yang terdalam\nMemang kau telah lama mengenal laut Besut, namun barangkali dengan saujana samudera bumi di bawah bayu kini telah kau larut. Tugas barumu di pulau, dikelilingi laut cantik negeri Sabah. Sudah hilangkah kasih dan rindumu terhadap tanah Kota Bharu? Ataukah kau sengaja diam bisu kerana telah dihanyutkan waktu?\nMasih kuterkenang akan sebuah rumah agam di Pengkalan Chepa. Dan sebuah kedai makan di pinggir jalan ke sana. Sudah menikahkah anak mak cik tuan kedai yang berhasrat bermenantukanmu dulu? Paginya, kau tumpangkan aku berpacu laju dengan kereta kecilmu ke Kota Bharu. Kau perlu segera sampai untuk latihan mengajarmu di sebuah sekolah di situ.\nKita mungkin telah lama melepaskan kenangan. Membiarkan ia pergi bersama masa lalu. Dan kepada waktu juga kita serahkan diri kita untuk entah bila kembali bersua. Barangkali kerana terlalu rindu aku menulis begini. Seperti disenandungkan oleh Tagore dalam Gitanjali:\naku rindui engkau\nengkau sendiri!\n\u00a0 \u2013 semoga hatiku\ntak kunjung mengulanginya\nsemua hasrat\nyang melengahkan aku\nsiang dan malam\nhelah belaka dan hampa\n\u00a0seperti malam\nmenyembunyikan rindu hatinya\npada cahaya\ndalam mendungnya\ndemikian pulalah\nterdengar pekikan\ndari lubuk kesedaranku \u2013\naku rindui engkau\nengkau sendiri!\nSelamat mengamati sunyi dan menelaah diri, Tuah!\n3 & 9 \u2013 13 Julai 2021\n_________________________\nSalman Sulaiman graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera, Universiti Sains Malaysia (2006). Karya cerpen dan sajaknya memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) tahun 2003, 2004, 2008 dan 2009. Mewakili penulis muda Malaysia ke Program Penulisan MASTERA di Anyer, Banten, Indonesia pada tahun 2012. Menjadi AJK Persatuan Penulis Kelantan sejak tahun 2007 hingga 2017. Beliau telah menulis lima buah buku: Pemain Bahasa, Sebelum Menjadi Penakut, \u2018Ngembara., ALLAH!, dan Nuh, Si Tukang Kayu & Sebuah Perahu. Sajaknya, \u201cIni Tanah Kita\u201d dipilih sebagai teks Kesusasteraan Melayu SPM 2015\u20132019. Pernah menyandang Johan Sayembara Deklamasi Puisi BBK Kelantan 2015 dan menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan dalam Anugerah Sastera Negeri Kelantan 2019/2020. Salman Sulaiman kini merupakan penuntut pascasiswazah bidang Kesusasteraan Melayu Klasik di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris." "Cinta Hari-hari Pandemik Selami Sisi Psikologi Segar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCinta Hari-hari Pandemik kedengaran klise umpama kisah cinta tiga segi yang sering ditayangkan pada jam 7.00 malam. Namun, ramai yang tidak tahu trilogi karya terbaharu Ruhaini Matdarin ini menampilkan gaya penulisan yang begitu berani dan segar. Kisah \u201cngeri psiko gelap\u201d (dark psycho thriller) ini mampu mencetuskan gelombang baharu bagi para penulis untuk menghasilkan karya yang sedemikian pada masa akan datang.\n\u201cIni bukanlah novel cinta tipikal. Ruhaini berjaya mengetengahkan isu kesihatan mental. Ruhaini begitu kemas merakamkan fragmen dan kesan psikologi terhadap masyarakat akibat pademik COVID-19,\u201d jelas Dr. Zul Azlin, Pakar Psikiatri USIM Healthcare sebagai panel pertama pembicara Sembang Buku anjuran Nusa Centre pada 14 Julai jam 8.30 malam secara langsung di Facebook Rita Robert Rawantas dan Nusa Centre.\nPandemik sangat memberikan kesan pada cerita pertama novel ini melalui watak Salmi dan isterinya Sarah yang bergelut menghadapi pelbagai dugaan, termasuk kehilangan perniagaan akibat COVID-19 kesan daripada pilihan raya di Sabah. Pergelutan watak ini dilihat sebagai suatu episod kecelaruan personaliti yang dapat didiagnosis dari sudut perubatan sebagai kecelaruan personaliti berganda (multiple personality disorder).\n\u201cKesan mental juga jelas pada cerita ketiga melalui watak Nazar, orang miskin yang terkurung dan mengalami trauma seksual. Apabila membaca cerita ini, saya dapat menyatakan bahawa Naza mengalami penyakit tertentu yang lebih tepat disebut sebagai skizofrenia,\u201d ujar Dr. Zul.\nSementara itu, panel kedua Abdullah Hussaini pula sependapat dengan Dr. Zul dan menambah bahawa Ruhaini dalam karya terbaharu terbitan Nusa Centre ini kelihatan lebih bebas bercerita dan berterus terang dalam isu penderaan seksual.\n\u201cSaya suka membacanya kerana jalan cerita bergerak pantas. Saya juga suka pada cerita kedua dengan watak orang tua miang, gatal dan curang itu. Jika dikembangkan lagi ceritanya, tentu dunia kosmos psikologi yang dialami watak \u2018lelaki gatal\u2019 itu lebih menarik untuk diimbas kembali,\u201d kata Abdullah.\nModerator program Rita Robert Rawantas, kelihatan tersenyum-senyum dan tercuit dengan bicara Dr. Zul dan Abdullah Husaini yang begitu santai dan bersahaja mengutarakan pendapat.\nNovel terbaharu Ruhaini Matdarin ini boleh didapati di kedai buku Nusa Centre di Shopee." "Apakah yang Dikatakan Sajak Islam?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata Raja Yusoff Ariffin, sajak hanya sia-sia jika tidak menganjurkan kepada kebaikan seperti yang dituntut oleh Islam, walaupun sajak itu karya sastera yang paling diminati ramai.\nSajak Islam ialah sajak yang bernilai Islam, ditujukan kepada penyaksian nilai-nilai Islam, dan dihasilkan bukan sahaja oleh penyair Muslim, malah penyair bukan Muslim.\nRamai yang menganggap dan memahami bahawa sajak Islam ialah sajak yang mengandungi kalimat-kalimat umum berunsur Islam, seperti Allah, Rasulullah, kalimat-kalimat al-Quran dan sebagainya. Bagi mereka, sajak sedemikian memang membawa tema keagamaan. Walau bagaimanapun, tidak semestinya dan tidak tepat jika kita terus menganggapnya sebagai sajak Islam. Jika sekadar terbatas pada menyebut nama berunsur Islam yang biasa sahaja, dan dipaparkan dalam bentuk yang bersifat terlalu peribadi, karya begini belum lagi boleh diiktiraf sebagai sajak Islam.\nWalaupun banyak yang membawa tema keagamaan (Islam), tetapi sebenarnya, sajak yang boleh dianggap sebagai sajak Islam agak sukar ditemui. Islam memang menganjurkan segala kebaikan untuk diamalkan oleh penganutnya, dan cara-cara yang baik dalam usaha menyelesaikan setiap masalah.\nSajak Islam, sebaik-baiknya mestilah turut membawa unsur-unsur sedemikian. Islam merupakan agama sejagat dan sajak Islam mesti turut membawa tema yang bersifat sejagat. Oleh hal yang demikian, beberapa aspek seperti kemasyarakatan, kebudayaan dan keagamaan amatlah perlu diperhatikan sebagai titik permulaan untuk membicarakan serta menghasilkan sajak yang boleh dianggap sebagai sajak Islam.\nSistem sosial dan politik yang mentadbir segala institusi dalam masyarakat menurut undang-undang peraturan Islam dibicarakan menerusi aspek kemasyarakatan.\nSementara itu, unsur moral dan budi bicara sesama manusia, dan antara manusia dengan makhluk mengikut ajaran Islam dibicarakan menerusi aspek kebudayaan. Ajaran Islam mengandungi nilai hidup yang menjamin kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat.\nAspek keagamaan pula membicarakan akidah kepercayaan kepada Allah menurut konsep iman yang diseru oleh Rasulullah SAW menerusi al-Quran dan hadis.\nPara penyair diingatkan agar tidak menggunakan citra buruk, lucah, keganasan, kekasaran, dan kekejaman dalam sajak yang dihasilkan. Sajak Islam juga mesti mempunyai nilai Islam yang sejati, serta dapat dipertahan dalam semua ruang tempat dan waktu, kerana Islam sendiri sesuai dengan semua ruang itu.\nSecara perlambangan, sajak keislaman memaparkan setiap perkara yang diceritakan oleh al-Quran tentang berita baik dan buruk, balasan baik (bagi orang yang taat kepada Allah) dan balasan buruk (bagi orang yang menderhaka kepada Allah).\nSajak Islam seharusnya mampu berperanan membentuk insan secara menyeluruh agar bertakwa, beriman dan tidak berlandaskan dasar perkauman, kerana Islam menentang faham perkauman. Karya ini juga hasil sastera yang dapat menerapkan atau membawa tema berunsur moral dengan kerohanian Islam yang sebenar.\nSelain hal sejagat, isi kandungan sajak Islam juga boleh menyentuh kepincangan dalam masyarakat, seperti kepalsuan, persaingan rohani dan penindasan. Sesebuah sajak boleh dianggap sebagai sajak Islam jika mengandungi isi yang benar-benar bernilai Islam.\nSajak Islam ialah sajak yang bernilai Islam, ditujukan kepada penyaksian nilai-nilai Islam, dan dihasilkan bukan sahaja oleh penyair Muslim, malah penyair bukan Muslim. Perhatikan sajak \u201cPermulaan dan Kesudahan\u201d karya Joseph Selvam, penyair bukan Muslim:\nKita mulakan sesuatu\ndengan mengucap\nBismillah\nKita sudahkan sesuatu\ndengan mengucap\nAlhamdulillah\nKelahiran mengucapkan\nAlhamdulillah\nKematian mengucapkan\nInnalillah.\nSajak ini membawa tema yang luas dan berunsur dakwah, serta tidak bersifat peribadi meskipun sepintas lalu sajak ini kelihatan bersifat sedemikian.\nSajak Islam juga ialah sajak yang terbabit dalam memperjuang dan menyeru kepada meninggikan serta menegakkan keindahan, kebenaran dan kebaikan, selain melarang atau merendah-rendahkan serta menghapuskan keburukan dan kepalsuan, apatah lagi kejahatan.\nDengan hal yang demikian, para penyair, terutamanya beragama Islam, mestilah mengkaji serta memahami falsafah dan estetika Islam untuk menghasilkan sajak Islam yang bermutu, selain memenuhi kehendak estetika Islamnya.\nPerhatikan pula rangkap ketiga sajak \u201cBudi\u201d karya Arbak Othman:\nIII\nApabila pancaindera, hati dan akal\ndipadukan dalam segala\npemandangan\nbudi melahirkan anak kebenaran\nyang mendidik setiap insan\ndi sekolah pemulihan\nlalu kita pun bangun\nsesergam tugu\nmendakap tamadun.\nLihat juga rangkap pertama sajak \u201cSecalit Fahaman Bersilang Terbawa Menghidu Cerca Kekafiran\u201d karya S.M. Salim:\nBetapa sayangnya\nyang cinta setia umat Muhammad\nhatinya banyak tertuba\nmenghidu dasar merangkak berangkat mendabik\ndada\nbersua bersemuka sesama tanpa lagi\nmelambai salam mesra\nsampai bila?\nSeterusnya, perhatikan sebahagian petikan daripada sajak \u201cSeorang Perempuan Bernama Isteri\u201d karya Anuar Hashim:\nSeorang perempuan bernama isteri\nbukanlah sebuah eksperimen\nuntuk membuktikan soal kelakian\ntapi adalah seorang perempuan\nyang terlalu hampir di hidung\nseorang suami\nyang menghidu bau wanginya\ndi semerbak malam\ndi dingin pagi. \nSajak-sajak yang ditampilkan ini sememangnya membawa tema yang sejagat dan menganjurkan kepada kebaikan sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Ketiga-tiganya ialah sajak Islam.\nJelas, Islam ialah hasil sastera yang menyentuh nilai-nilai Islam, malah membangunkannya. Isi dan kulitnya benar-benar perlu bernilai Islam. Dalam sesebuah sajak Islam, kesemua aspek Islam disatukan dengan manusia sebaik-baiknya, termasuk persoalan masyarakat dalam kesatuan isi yang realistik, meyakinkan yang dikarang dengan bentuk yang halus dan indah.\n_________________________\nRaja Yusoff Ariffin atau Raja Yusoff Raja Ariffin dilahirkan pada 21 Ogos 1962 di Pulau Tiga Kanan, Parit, Perak. Beliau menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Raja Yusoff merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur, rakan Tajulmedia Melayu dan pernah menganggotai PAKSI. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun \u201cBeraya di Kampung Warisan Melayu\u201d Satu Property (2020)." "Menjadi Penulis itu Bagaimana?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPersatuan Penulis Nasional Malaysia atau PENA menganjurkan Wacana PENA, sebuah program perbincangan yang mengumpulkan figura prolifik dalam dunia penulisan, dan bersama-sama mendalami pemikiran dalam dunia penulisan kini. Siri baharu ini bermula pada jam 9.00 malam, 16 Julai (Jumaat) dengan wacana sulung bertajuk \u201cMenjadi Penulis itu Bagaimana?\u201d.\n\u201cSecara tepatnya, bilakah turning point \u00a0yang membuatkan Dr. Saleeh menggelarkan diri sebagai penulis?\u201d Mohd Khair Ngadiron, pengendali wacana memulakan perbincangan dengan soalan menarik. Panel pembicara ialah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad (Presiden PENA) dan Datuk Dr. Budiman Mohd Zohdi (Setiausaha Politik Menteri Wilayah).\n\u201cKetika cerpen saya bertajuk \u2018Ranjau\u2019 memenangi hadiah sastera, saya masih muda ketika itu, masih di peringkat universiti. Saya agak terkejut. Hadiah dan penghargaan tersebut yang meyakinkan saya untuk meletakkan menulis sebagai satu kerjaya,\u201d jawab Saleeh dengan yakin.\n\u201cSaya mula menulis sejak umur 15 tahun, maka saya rasakan itulah waktu saya menjadi seorang penulis,\u201d balas Budiman.\nKedua-dua jawapan ini menunjukkan kepelbagaian dalam pandangan dan idea yang menjadikan seseorang itu digelar sebagai penulis.\nBudiman menambah, \u201cTak semua penulis mempunyai motivasi yang sama dalam proses menulis mereka. Ada yang menulis untuk memenangi hadiah sastera, dan ada yang seperti saya menulis untuk mengisi lompang keperluan rakyat.\u201d Budiman menekankan lagi, pentingnya untuk membina nama pada peringkat awal kerjaya penulisan.\n\u201cSaya fikir, personaliti Datuk sendiri sebagai figura prolifik, memberikan nilai dalam penulisan itu,\u201d sampuk Saleeh. Mengikut Saleeh, usaha mewujudkan sistem memberikan akreditasi pada penulis tempatan yang akan memberikan manfaat pada dunia penulisan tanah air. Justeru, penulis boleh mencari peluang untuk berkumpul dan bergerak dengan progresif dalam pelbagai kelompok penulis.\nSalah satu faktor yang mencipta penulis berwibawa ialah elemen keterdesakan. \u201cKeterdesakan itu merupakan satu keperluan dalam proses kreativiti. Kita mula menulis dengan rasa sengsara, tapi selepas siap satu karya, akan terbit rasa bahagia,\u201d tambah Saleeh.\n\u201cSeseorang penulis tidak menetapkan batasan umur mereka, rupa fizikal mereka, pemilikan mereka, dan yang paling penting, penulis tidak membataskan apa-apa profesi mereka.\u201d Budiman juga meletakkan profesion penulis itu bukanlah sebagai batu yang menghalang potensi.\nMenurut beliau, seorang kontraktor boleh menulis tentang kekeluargaan dan seorang jurutera boleh menulis tentang seni masakan, jika mampu. Hal ini mampu mencipta keterdesakan juga, jika penulis itu betul-betul bermotivasi.\n\u201cKita juga sebagai penulis perlu syok sendiri. Ada keadaan yang memaksa saya untuk memilih cara saya menulis, dan saya pilih apa-apa yang tepat bagi saya,\u201d sebut Saleeh. Dalam beberapa aspek, dunia sastera ini dunia syok sendiri. Beberapa keadaan, penulis perlu berani untuk menulis, kerana sastera dan kreativiti memerlukan keberanian dan kesanggupan yang luar biasa daripada penulis itu. \u201cDan seorang penulis itu wajib untuk berprinsip,\u201d tambah Saleeh.\nSempat berseloroh, para pembicara sempat berkongsi pendapat yang penulis dan kopi, merupakan satu kombinasi yang tidak dapat dipisahkan. \u201dKopi saya dimasak menggunakan moka pot, kopi tuan mungkin dimasak dengan kaedah lain, menunjukkan juga yang kita ini penulis yang berbeza,\u201d sempat Budiman berkongsi idea.\n\u201cTapi kadang saya ambil teh kosong juga,\u201d balas Saleeh.\nProgam bicara ini boleh ditonton di sini." "Bumi Nusantara Berkongsi Langit: Diplomasi Sains lwn. Diplomasi Sastera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKolumnis Rem Dambul mencari jalan agar sastera dapat menjadi alat penyatuan dan persefahaman antara negara Asia Tenggara.\nYa, gagasan sastera juga terlibat aktif dalam program-program merentas sempadan, tetapi majoritinya cuma bersifat aktiviti persatuan yang tidak terinstitusi secara rasmi di bawah punca kuasa kerajaan atau pemerintah.\nSastera Malaysia mesti bergelinjang keluar ke arena yang lebih signifikan, jika mahu kekal relevan dan mampu terus menyantuni agenda-agenda dunia kontemporari. Dalam naratif arus perdana, sastera seolah-olah cuma melukut di tepi gantang, sekadar bacaan rehlah untuk gratifikasi emosi dan mental. Ya betul, manfaat gratifikasi juga bukanlah sesuatu yang calang-calang. Kelegaan perasaan dan percambahan minda sangat mustahak untuk menjana katarsis ilmu, seterusnya melahirkan generasi cendekia yang benar-benar insaniah. Kualiti ini, yang dipacu tegar oleh sastera, diakui menjadi pemacu terpenting bagi melahirkan masyarakat yang seimbang zahir dan rohaninya.\nNamun demikian, semua tradisi persuratan, sama ada sains atau sastera, secara fitrah memang menuju kepada pemugaran jiwa sedemikian. Perbezaanya, persuratan sains telah melangkau lebih daripada peranan asas ini. Ia turut menawarkan fungsi praktikal dan advokasi (sokongan) sivil yang lebih tuntas, bukan sekadar menjadi alat menambahkan pengetahuan dan terapi jiwa. Sastera juga sebenarnya boleh menggalas peranan yang besar ini. Bahkan, usaha-usaha tersebut telah pun bermula sekian lama, dan masih terus berlangsung, tetapi belum mencapai tahap yang benar-benar berimpak. Misalnya, kemampuan untuk mempengaruhi naratif nasional secara konsisten menerusi transformasi polisi.\nDalam tulisan yang lalu, saya menyentuh gerakan sivil sains yang lebih dinamik berbanding sastera dalam usaha advokasi dasar-dasar negara. Kali ini, saya mahu menimbangtarakan sekali lagi kedua-dua tradisi persuratan ini (sains dan sastera) dalam konteks memainkan peranan diplomasi. Mengapa diplomasi persuratan itu penting? Kerana diplomasi politik selalu dicabar oleh limitasi dan prejudis ideologi. Cirinya tidak cukup sejagat dan kadang-kadang terkepung oleh fahaman nasionalisme sempit. Dalam situasi geopolitik global masa kini yang selalu bergempita, diplomasi politik lebih kerap mencetuskan ketegangan dan musibah, bukan persefahaman dan muhibah.\nJusteru, dunia yang semakin terbelah dan banyak karenah ini perlukan daya pengikat tambahan, selain diplomasi politik. Dalam hal ini, barangkali diplomasi sains dan sastera mampu menjadi alternatif, sekiranya benar-benar digerakkan pada landasan yang tepat. Siapa tahu, kan?\nAktiviti sastera serantau yang tersusun, dengan tujuan menjalin hubungan rentas negara, sebenarnya sudah mekar di Nusantara terlebih dahulu berbanding kegiatan-kegiatan berteraskan sains. Hal ini bermakna, bibit-bibit diplomasi sastera telah disemai mendahului diplomasi sains. Tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, jaringan sains serantau berkembang pesat kepada bentuk yang lebih sistematik. Bahkan sehingga melibatkan platform rasmi bersifat bilateral dan multilateral di bawah punca kuasa kerajaan. Hal ini sekali gus mengangkat markat diplomasi sains ke mercu yang lebih tinggi.\nDalam ASEAN sendiri, telah diwujudkan satu jawatankuasa khas untuk bidang sains, teknologi dan inovasi. Terdapat banyak aktiviti serantau sesama negara di Asia Tenggara yang digerakkan menerusi platform multilateral ini. Program-program tersebut didanai secara kolektif oleh semua kerajaan negara yang terlibat. Hal ini memberikan peluang kepada saintis, teknologis dan teknokrat di Nusantara untuk saling berkongsi idea, kemahiran dan kepakaran. Pertemuan setiap dua tahun jawatankuasa ini, yang terinstitusi secara formal, mencipta diplomasi yang signifikan berteraskan nuansa sains.\nSelain itu, gagasan sains juga telah berfungsi lebih jauh, iaitu sebagai sumber penyelesaian pada sengketa sesama negara. Sebagai contoh, kita tinjau situasi tegang di Laut Sulu-Sulawesi, yang terletak di perairan timur negeri Sabah dan berkongsi milik dengan dua negara lain, iaitu Filipina dan Indonesia. Kawasan ini dianggap kawasan sensitif dari segi keselamatan dan kedaulatan, kerana di wilayah sempadan ini berlaku aktiviti-aktiviti pencerobohan (misalnya peristiwa berdarah Tonduo), perebutan pulau (misalnya krisis Ambalat) dan penyeludupan. Akibatnya, perairan ini dianggap zon konflik yang sentiasa merenggangkan hubungan tiga negara yang terlibat.\nMenerusi platform Coral Triangle Initiative (CTI) yang memayungi enam negara termasuk Malaysia, Filipina dan Indonesia (dengan ikatan rasmi kerajaan-kerajaan yang terlibat) \u2014 eksplorasi sains atas semangat memulihara sumber marin telah berlaku dengan rancak di zon perairan ini. Hal yang paling penting, aktiviti tersebut melibatkan penyertaan saintis daripada ketiga-tiga negara, dalam suasana penuh harmoni dan mesra. Maksudnya, ketika diplomasi politik masih tercari-cari titik perdamaian untuk kemelut ini, diplomasi sains telah pun berjaya menautkan tali persefahaman.\nPernahkah diplomasi sastera meneroka dan menerobos sejauh ini, dalam konteks hubungan serantau di Nusantara? Mungkin pernah, mungkin tidak. Ya, gagasan sastera juga terlibat aktif dalam program-program merentas sempadan, tetapi majoritinya cuma bersifat aktiviti persatuan yang tidak terinstitusi secara rasmi di bawah punca kuasa kerajaan atau pemerintah. Sebab itulah impaknya kurang menepati pengertian diplomasi aras tinggi, iaitu sesuatu yang tersurat secara eksplisit dalam polisi negara dan bergerak atas platform rasmi bilateral atau multilateral.\nSebenarnya ada beberapa isu konflik serantau yang sepatutnya boleh ditangani dengan diplomasi sastera. Sayang sekali, peluang tersebut tidak direbut sepenuhnya oleh komuniti dan aktivis sastera. Sebagai misalnya, konflik sosiobudaya antara Malaysia dengan Indonesia berkenaan khazanah tradisi sepunya seperti seni tekstil batik dan kulinari nasi lemak (nasi uduk). Beberapa tahun dulu, berlaku perbalahan tentang apakah negara pemilik sebenar warisan yang disabitkan.\nKenapa agaknya komuniti sastera tidak bertindak proaktif menawarkan jabat persahabatan di tengah-tengah sengketa yang berapi? Sedangkan hal ehwal sosiobudaya begini, terungkap dengan begitu kaya dalam persuratan sastera kedua-dua negara. Jika segalanya diolah dengan perspektif yang jelas menggunakan platform kesusasteraan yang sistematik, sudah pasti kepentingan diplomasi sastera akan menyerlah. Sayangnya, tidak ada gerakan yang tersusun ke arah itu dalam kalangan penggiat sastera.\nKelebihan bidang sains berbanding sastera dalam program-program merentas wilayah ini terletak pada struktur fundamental yang mapan dari segi kewujudan platform rasmi. Bidang sains teknologi sudah teradun kukuh dalam ekosistem hubungan negara di ASEAN. Bidang ini diperkukuhkan dalam bentuk jawatankuasa, perjanjian persefahaman (MoU) dan entiti multilateral spesifik (contohnya, Coral Triangle Initiative) yang diperaku oleh kabinet kerajaan bagi semua negara terlibat. Cabaran kepada para aktivis sastera adalah untuk memacu penubuhan ekosistem yang sama.\nKomuniti Puisi Esei ASEAN sedang bergerak ke arah tersebut. Pelopor \u201cpuisi esei\u201d ialah Denny JA, seorang sasterawan Indonesia dengan status personaliti digital dan birokrat merentas bidang. Beliau menggagaskan genre baharu ini yang dimaknakan sebagai: ragam sastera dengan kata-kata gaya prosa yang membawa pesan sosiobudaya, geosejarah dan tatanegara melalui kombinasi fakta, fiksyen dan catatan nota kaki. Kerana sifatnya yang unik, genre ini telah merentas sempadan dengan dinamik yang luarbiasa, kemudian merangkai satu ikatan sastera yang lebih intim di Nusantara.\nAdakah ini satu permulaan diplomasi sastera yang lebih subur, setanding dengan diplomasi sains yang sudah lama tumbuh mekar? Hanya sejarah masa depan yang mampu menjawab. Tetapi kewujudan gerakan itu sendiri sudah pun menjanjikan suatu potensi dan harapan yang ditunggu-tunggu.\n_________________________\nRem Dambul atau nama sebenarnya Ramzah Dambul (Dr.) ialah seorang sarjana bidang sains atmosfera; yang gemar berpuisi, melukis dan berfantasi. Dalam dunia utopia, dia seekor murai sastera yang selalu berkicau di perbatasan sains. Antara karya bukunya termasuklah kumpulan puisi Alien Menchari Chinta (ITBM, 2012; Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012/2013),\u00a0Deja Vu Cinta Pencari Katarsis (ITBM, 2014), Dari Cinta kepada Cinta (ITBM, 2015), dan memoir perjalanan Bukan Travelog Haji di Bumi Anbia (Studio Anai Anai, 2017)." "Mitos Feudal Menyekat Kemajuan?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dalam tradisi sastera terlalu banyak naskhah yang ditulis dengan mengangkat imej kesaktian dan kehebatan golongan pemerintah. Tradisi ini diluar logik akal tetapi mudah difahami sebagai satu bentuk kawalan psikologi kepada golongan diperintah.\nWalau bagaimanapun, kisah-kisah kesaktian ini yang didefinisikan sebagai mitos, kekal menyelubungi masyarakat, malah dalam konteks bangsa Melayu mitos masih tebal sehingga menyekat kemajuan bangsa walaupun sesudah negara merdeka.\nItulah kesimpulan yang boleh dibuat dalam \u201cWacana Mitos-mitos dalam Sastera: Ke Mana Kita Dibawa?\u201d yang dianjurkan oleh Perkhidmatan Perpustakaan Bahasa Melayu (NLB), Singapura sempena Read Fest, pada 14 Julai jam 8.00 malam. Perbincangan ini berdasarkan buku adikarya Syed Hussein Alatas, Mitos Peribumi Malas.\nMenemukan dua panel, Dr. Azhar Ibrahim Alwee dari Universiti Nasional Singapura dan Dr. Mohd Faizal Musa dari Universiti Kebangsaan Malaysia, wacana itu memperjelas mitos yang dicipta bagi mempertahan kepentingan kumpulan tertentu, seharusnya diberikan perhatian.\nAzhar berkata, mitos memang melingkari kehidupan umat manusia dan dalam konteks Nusantara, ciptaanya tertuju kepada orang Melayu. Selain boleh ditemui dalam naskhah sastera klasik, ia juga dihujahkan oleh golongan orientalis dalam usaha mereka merendahkan anak watan bagi menghalalkan penjajahan.\n\u201cSelain mengangkat citra kesakralan pemerintah, mitos penjajah zaman kolonial menghujahkan mengenai orang Melayu atau peribumi itu malas. Mereka ini akan punah dan akan dikuasai kelompok bangsa yang lebih rajin, seperti Cina dan Arab, malah wujud mitos mengenai superiority bangsa kulit putih.\n\u201cPada zaman moden ini, walaupun sebahagian mitos itu pudar tetapi wujud pula mitos baharu, misalnya keterpilihan gender, bangsa dan kebagusan satu-satu sistem ekonomi,\u201d katanya.\nAzhar berkata, mitos mengenai kekebalan atau kehebatan golongan feudal yang kerap ditemukan dalam naskhah klasik bagaimanapun masih lagi boleh ditemui dalam sastera generasi muda dan hal ini agak mengecewakan.\n\u201cMitos sebegini biasa ditemui dalam sastera haluan kanan, tetapi sebagai pensyarah yang mengajar di universiti saya juga menemuinya dalam karya generasi muda. Walaupun mereka ini golongan yang banyak membaca dan berfikiran jauh lebih kritis tetapi mereka masih berada dalam lingkungan ideologi yang lama,\u201d katanya.\nSementara itu, Mohd Faizal berkata, mitos feudalisme bukan hanya mencengkam orang Melayu tetapi juga bangsa Jepun dan Inggeris. Walau bagaimanapun, dalam hal itu, terdapat perbezaan dengan bangsa Melayu kerana pemerintah Jepun dan Inggeris dilihat lebih bijak dan mendengar kata.\n\u201cMitos feudalisme tebal dalam kalangan orang Melayu sehingga mereka tidak boleh bergerak ke hadapan dan hal ini bukan terhad terhadap raja-raja sahaja tetapi juga orang politik. Feudal juga dilihat wujud pada lapisan pahlawan, pelaksana golongan bangsawan dan juga agamawan yang menjadi benteng feudalisme.\n\u201cWalaupun negara sudah merdeka, psikologi feudal ini masih kuat dalam golongan orang Melayu sehinggakan mereka tidak berani bangkit bertanya,\u201d katanya." "Suara Protes Penggiat Puisi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cSelang semesta, Parlimen Puisi sudah buka. Kawan-kawan kita setiakawan untuk #Lawan, tak kira dari bucu katil atau di lapangan. Sedia untuk angkat puisi dan tunjuk perasaan dengan #PuisiDarurat. Nyalakan api revolusi meski dari bilik tidur!\u201d Itulah bait-bait yang banyak berlegar dalam internet, memanggil para penggiat puisi untuk turut serta dalam gerakan Puisi Darurat.\nPuisi protes, puisi yang menggambarkan rasa melawan, defensif dan agresif seorang penulis disuarakan dengan penuh emosi dan perasaan. Rata-rata masyarakat tempatan di serata negara bersama-sama menyemarakkan suasana menyuarakan pemikiran dan perasaan yang terpendam dek tekanan sosial, ekonomi, politik dan pandemik melalui puisi dan sajak.\nWalaupun dunia semasa sedang bergelut dengan serangan pandemik, komuniti peminat puisi tempatan tidak menjadikan hal itu sebagai halangan untuk berkumpul dan berkongsi tulisan. Pada 17 Julai 2021 (Sabtu), gerakan yang disertai oleh lebih daripada 700 pengguna media sosial Twitter dan Facebook (setakat jam 10.00 malam) telah memulakan inisiatif mereka pada jam 3.00 petang. Para pengguna yang terlibat membuat hantaran dengan tanda pagar #PuisiDarurat.\nHantaran-hantaran diseragamkan namun bersifat terbuka dan terdiri daripada pelbagai variasi penulisan puisi, pantun, gurindam, deklamasi sajak, dan pelbagai lagi hantaran yang berkaitan, menepati objektif gerakan. Acara sastera ini dianjurkan oleh Bilik Penyair, sebuah rumah puisi tempatan dan Gerak Malaysia, badan organisasi belia untuk kemanusiaan. Kedua-dua platform ini juga mengumpulkan kumpulan suara dan hantaran awam untuk #PuisiDarurat di laman Twitter dan Facebook mereka.\nSelain puisi baharu dan rekaan sendiri oleh para peserta, karya penulis lain turut sama dijadikan bahan. Puisi langka Wiji Thukul, \u201cPeringatan\u201d ditampilkan, selain perkongsian semula beberapa puisi Usman Awang (\u201cJiwa Hamba\u201d, \u201cKarya\u201d), T. Alias Taib (\u201cDi Parlimen\u201d), Salmi Manja (\u201cUntuk Umat Manusia\u201d), dan puisi kontemporari. Faisal Tehrani di Twitternya turut mengongsi sajak berjudul \u201cPuisi Tak Beri Kamu Makan\u201d.\nFigura yang turun memeriahkan, antaranya termasuk Karim Mohd, Aliff Awan, Zikri Rahman, Zoul Yazix, Edry Faizal, A. Muziru Idham, Puteri N. Balqis, Nana, Jack Malik, Petak Daud, Fazallah Pit, Za\u2019im Yusoff, Fahmi Mustaffa, Dinie Fadil, Ivvy Valerie, Karl Agan, Wafa Awla, Taufiq Roslan, dan Lutfi Ishak (sekadar menyebut beberapa nama).\nAntara hantaran yang dilihat mendapat pencapaian tertinggi ialah rakaman pembacaan dan pendeklamasian sajak. Penyair dan penulis Karim Mohd membacakan dua sajak ciptaan Latiff Mohidin, iaitu \u201cKalau Kau Mau\u201d dan \u201cPermainan Gasing\u201d.\nNana juga sempat membacakan sajaknya dan kini telah mencapai lebih daripada 1300 tontonan. Sajak kontemporari gabungan sajak konkrit yang dibaca dan diiramakan oleh Aliff Awan dan Mohd Azmen, \u201cSajak Mashup\u201d, pula disaksikan oleh lebih daripada 5000 pengguna platform Twitter. Sementara itu, hantaran pembacaan Dinie Fadil bagi \u201cPuisi Aku, Puisi Cekal\u201d, Amirul Hisyam bagi \u201cPahat\u201d karya Luthfi Ishak, Jack Malik bagi \u201cHanuman\u201d karya Ramidin Zahari turut diraikan.\nPuisi konkrit merupakan puisi yang banyak ditampilkan. Antaranya termasuk karya pengguna Twitter @cktanmy, Markko @kosmikecewa dan karya Fared Ayam bertajuk \u201cPesan (Dari Aku dan Kawan-Kawan)\u201d. Petak Daud juga berkongsi puisi konkritnya yang bertajuk \u201cDi Parlimen\u201d, cerminan puisi konkrit dengan tajuk yang sama daripada T. Alias Taib.\nTurut terlibat menyemarakkan suasana ialah hantaran bertulis karya penulis sendiri, termasuk Ridhwan Saidi dengan sajak \u201cDoa Orang Susah Tak Makbul Hari Ini\u201d, Nana dengan \u201cYang Lapar Jadi Lauk\u201d, May Chong dengan \u201cBawang\u201d, Iman Najaa dengan \u201cKawat Duri\u201d, Ivvy Valerie dengan \u201cKhianat\u201d dan \u201cKejam\u201d, Syakir Ahmad dengan \u201cCelik Mata\u201d, Epahalyahya dengan puisi konkrit \u201cTer-le-tak\u201d, Halim Muhammad dengan \u201cLapar\u201d, dan Jack Malik dengan \u201cSepetang Amerikano Kafe Mukha di Taman Tun\u201d.\nPada malam pula dirancakkan dengan sesi Parlimen Puisi di Twitter Space @bilikpenyair. Para pemuisi, iaitu Norleha Taupik, Ali Adenan, Nana, Jack Malik, Fazrul Azril, Maliqi Malik, Izzah Dejavu, Mucky, A. Muziru, Iman Najaa, Atirah Ameer, dan Bue Hasnul membaca puisi protes pilihan." "Karya Definitif COVID-19 Ambil Masa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Benarkah hanya pengarang yang melalui zaman sengsara dan derita mampu menghasilkan naskhah yang baik? Misalnya, dua buah karya besar Sasterawan Negara A. Samad Said, Salina, merakamkan kehidupan di Singapura pada masa perang, manakala Hujan Pagi pula merakamkan kecelaruan perjuangan media.\nAtau sebenarnya, sastera itu perakam setiap pelosok cabaran hidup, tidak mengira musim derita atau bahagia?\nBagi sekumpulan panel dalam wacana sempena Hadiah Sastera Selangor (HSS) 2020, Cerita Zaman Derita: Sastera Perakam Cabaran Hidup anjuran Media Selangor di Twitter Space, 18 Julai 2021 (Ahad) jam 9.00 malam menyifatkan istilah musim derita itu terlalu peribadi dan tidak semestinya dirasai oleh semua umat manusia sebagai syarat utama untuk melahirkan karya yang baik. Sebaliknya, derita itu mungkin bersifat peribadi pengarang itu sendiri.\nWacana yang dikendalikan oleh Khairulnizam Bakeri menemukan Ketua Juri HSS 2020, Dr. Mohd Faizal Musa; Juri HSS 2019, Wan Nor Azriq; pemenang HSS 2017, Iman Daniel; dan Pegawai Dasar Menteri Besar Selangor, Ammar Gazali.\nBagi Mohd Faizal, antara pengarang yang diminatinya ialah Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako yang merakamkan pengalaman dan sudut pandangnya ketika dalam tahanan ISA di Batu Gajah menerusi sebuah novel yang diterbitkan pada tahun 1966.\nTegasnya, naskhah itu, Yang Miskin dan Yang Mewah tidak banyak diperkatakan dan hal ini membuktikan adakala sejarah tidak semestinya tentang perkara besar tetapi boleh juga menjadi satu hal yang besar kepada pengarang berkenaan.\nMohd Faizal berkata, ketika ini sewaktu dunia berhadapan dengan pandemik COVID-19, pembaca belum menemukan karya yang merakamkannya tetapi hal itu bukanlah membawa tanda yang tidak baik, sebaliknya penghasilan karya berkaitan juga memerlukan masa.\n\u201cSaya fikir, hanya sesudah kita mengharungi wabak ini, barulah karya berkaitan akan lahir dan akan meninjau pelbagai sudut. Saya rasa perkara ini penting dan saya juga tidak fikir ia akan lahir di Barat, sebaliknya mungkin akan lahir dari rantau sebelah sini, Asia Tenggara,\u201d katanya.\nWan Nor Azriq melahirkan pandangan senada apabila menyebut, sesebuah karya itu boleh saja tampil dari pelbagai sudut dan juga tidak mungkin membabitkan secara keseluruhannya peribadi pengarang.\n\u201cSejarah memberi kesan kepada semua orang. Musim Covid ini mungkin ada karya yang muncul. Kita kerap menemukan puisi tetapi novel mungkin belum ada dan hal ini tidaklah perlu lahir sekarang.\n\u201cIa mungkin akan ambil masa kerana kita masih mahu tahu apakah penghujungnya atau lebih memahami hal itu, terpulanglah pada pengarang,\u201d katanya.\nSementara itu, Ammar berkata, HSS ialah idea daripada Menteri Besar Selangor, YAB Dato\u2019 Seri Amirudin Shari ketika ini sewaktu menjawat jawatan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan.\n\u201cHSS dimulakan sejak enam tahun lalu dan berkembang. Tetapi berbanding anugerah sastera peringkat negeri yang lain, kami terbuka menerima karya dari negeri lain. Kami dalam perancangan untuk menilai karya yang terbit di media lain juga untuk HSS seterusnya, selain mungkin menambah genre pengiktirafan. Justeru, kami berharap kualiti karya juga akan ditingkatkan,\u201d katanya." "Audio Siar Langkah Segar Sebar Sastera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Menyedari keperluan untuk menyebarkan bahasa dan sastera melalui medium teknologi terkini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menggiatkan langkah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak, terutamanya badan penyiaran. Hal ini bagi memastikan rantaian produk daripada sumber sastera dalam pelbagai bentuk persembahan dapat disiarkan kepada masyarakat, selain relevan dengan perkembangan semasa.\nAudio siar (podcast) merupakan satu kaedah penerbitan secara audio melalui aplikasi pintar dalam bentuk digital yang boleh didengari secara strim bagi penyebaran maklumat kepada masyarakat di Malaysia. SYOK merupakan salah satu jenama audio siar yang menyiarkan pelbagai siri audio siar melalui aplikasi SYOK dan dihasilkan di bawah jenama Syokcast Astro Radio.\nLangkah ini sebenarnya telah mula dirintis pada tahun 2020 melalui Bahagian Promosi dan Pengiktirafan yang menerbitkan enam siri audio siar cerita hikayat dan cerita rakyat, iaitu Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Malim Deman, Cerita Pak Pandir, dan Cerita Pak Kaduk melalui jenama Hikayat Gegar Pagi. Bagi menerbitkan cerita hikayat dan cerita rakyat dalam bentuk audio siar, pihak DBP telah bereksperimentasi dengan teks asal dan memberikan persembahan dalam bentuk perbualan santai dengan penyampai Radio Gegar, iaitu Mek Zura dan Shah. Persembahannya mesra pendengar dan tidak terlalu panjang. Penyampai siri cerita hikayat dan cerita rakyat ini ialah Musasliza Mustan Shir dan Nur Liyana Aqilah Zulkefli, perancang bahasa di DBP.\nSambutan baik daripada pendengar membuka langkah kepada DBP dan Syokcast Astro Radio untuk menjalinkan satu lagi kerjasama yang unik, iaitu penerbitan siri audio siar Belang Harimau Besi. Penghasilan tujuh siri audio siar Belang Harimau Besi menyaksikan penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diketuai oleh Mejar Meor Al-Azfar Meor Ahmad dan dibantu oleh Lily Haslina Nasir serta Rosie Haslinda Nasir. Rakaman ini berkonsepkan rakaman audio babak penting daripada buku Somalia Belang Harimau Besi. Buku yang ditulis oleh Mejar Jeneral Datuk Haji Mohd Halim Khalid ini mendokumentasikan kisah benar perjuangan Malaysia Batallion 1 (MALBATT 1) di Bakara Market, Mogadishu, Somalia.\nBagi tahun 2021, DBP telah meneruskan kerjasama dengan Syokcast Astro Radio dengan penerbitan 10 siri audio siar Gambaran Syurga. Siri ini bersumberkan buku Gambaran Syurga Menurut Fakhr al-Din al-Razi yang disusun oleh Dr. Mohd Manawi Mohd Akib. Tuan Haji Mohd Salahuddin, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP telah bertindak selaku pennyampai dalam siri audio siar kali ini dan dibantu oleh dua orang bakat kanak-kanak, iaitu Nor Hasanah Nisa\u2019 Nahar dan Muhammad Athif Mohd Azman. Siri pertama audio siar ini telah dimuat naik di aplikasi SYOK pada 16 Julai 2021 dan boleh dilayari dengan cara memuat naik aplikasi SYOK secara percuma di Google Play Store, Apple Apps Store dan Huawei Apps Gallery. Selain itu, anda juga boleh mendengar siri audio siar ini melalui pautan ini.\nBeli buku Gambaran Syurga Menurut Fakhr al-Din al-Razi di sini." "Remaja Perlu Ada Ilmu Penulisan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Majlis Penutupan Program \u201cSaya Remaja Malaysia\u201c telah berlangsung pada pukul 2.30 petang tadi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP. Majlis ini telah disempurnakan oleh\u00a0 YBrs. Tuan Haji Mohd. Salahuddin Datuk Paduka Mohamed, iaitu Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka.\nProgram \u201cSaya Remaja Malaysia\u201c merupakan aktiviti kebahasaan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja dan Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. (Majalah Remaja). Program ini telah dilaksanakan ke sekolah-sekolah terpilih di Malaysia yang bertujuan untuk memperkasakan penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan remaja.\nDalam majlis tersebut, beliau menyampaikan ucapan penghargaan DBP kepada Nu Ideaktif Sdn. Bhd. atas usahanya memartabatkan bahasa Melayu khususnya dalam kalangan remaja.\nDBP sentiasa menyokong penuh apa-apa usaha dan aktiviti pengembangan bahasa kebangsaan yang dikelolakan oleh apa-apa persatuan atau organisasi. Program menulis esei dan pengucapan awam yang dibuka kepada remaja Malaysia ini dapat memupuk kesedaran anak-anak remaja dalam usaha mengangkat bahasa ibunda kita dan seterusnya dapat membina jati diri remaja ke arah mencintai bahasa Melayu.\nMenurutnya lagi, untuk menulis seseorang itu perlu ada ilmu. Oleh itu, remaja perlu mempunyai teknik dan panduan penulisan. Manakala pertandingan pengucapan awam pula dapat memahirkan remaja untuk menggunakan bahasa yang baik ketika berkomunikasi. Melalui pertandingan ini juga, para remaja dapat dilatih menggunakan bahasa yang baik.\nKatanya lagi, Nu Ideaktif Sdn. Bhd. dan DBP merupakan platform yang bagus untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan remaja, yang seterusnya akan menjadi tonggak pembinaan negara bangsa.\nSyabas dan tahniah atas daya usaha dan komitmen yang tinggi oleh semua peserta dan juga tahniah kepada semua pemenang Pertandingan Esei \u201cSaya Remaja Malaysia\u201c dan Pertandingan Pengucapan Awam \u201cSaya Remaja Malaysia\u201c.\nSementara itu, Encik Mohd Fiezreen Ahmad, iaitu Editor Pengurusan Majalah Remaja turut menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majlis tersebut. Menurutnya, program ini merupakan inisiatif Nu Ideaktif Sdn. Bhd. untuk turut sama dengan DBP bagi memperkasakan bahasa Melayu dalam kalangan remaja.\nSemoga semakin banyak remaja Malaysia yang mencintai bahasa Melayu. Kita juga telah mengadakan kempen jerayawara, slot kuiz bahasa dan kuiz peribahasa dalam usaha memperkasakan remaja ke universiti. Menerusi program ini, penyertaan dalam kalangan remaja Malaysia amat menggalakkan. Saya berharap agar kempen \u201cSaya Remaja Malaysia\u201c terus diadakan pada tahun-tahun akan datang." "Sumbangan Besar Ungku Aziz dalam Bahasa dan Sastera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Profesor Diraja Dr. Ungku Aziz bin Ungku Abdul Hamid bukan sahaja tokoh yang disegani dalam bidang pendidikan dan ekonomi, bahkan kewibawaannya menyerlah sebagai pencetus idea penubuhan badan ekonomi, institusi dan badan bahasa. Kegigihan beliau sebagai Naib Canselor ke-2 Universiti Malaya (UM) dalam menerajui dan mengembangkan keintelektualan dunia akademik yang bertunjangkan bahasa Melayu, wajar diteladani.\nLatar belakang beliau daripada keturunan bangsawan amat menyerlahkan daya karismatik dan kebijaksanaan yang sangat terkehadapan, malah beliau mempunyai daya kekuatan sebagai perunding yang dihormati. Aura perundingan yang dimiliki, digunakan sebaik-baiknya untuk mengembangkan keintelektualan dunia akademik tempatan ketika proses transisi dunia akademik pascamerdeka.\n\u201cDahulu sebelum merdeka, negara kita terikut-ikut dengan kehendak penjajah. Tetapi setelah merdeka, Ungku Aziz sangat prihatin dan mengikut dasar keaslian negara yang menitikberatkan setiap pelajaran perlu diajar dalam bahasa Melayu. Beliau juga tidak mengamalkan sistem meritokrasi bahkan sering menerajui pembangunan negara dalam aspek pendidikan. Justeru, pencapaian pelajar dan pembinaan bangsa yang maju dapat dikecapi oleh setiap rakyat tanpa mengira miskin atau kaya,\u201d jelas Ybhg. Kapten Dato\u2019 Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob, Mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya ke-8.\nKeunikan Ungku Aziz begitu luar biasa kerana mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang unik. Beliau seorang pemikir yang sangat mengambil berat tentang kehidupan masyarakat. Justeru, pelbagai strategi dan lontaran idea diatur untuk membantu rakyat dalam usaha menikmati agihan kekayaan negara.\nUngku Aziz juga merupakan tenaga penggerak utama Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga, pada tahun 1956. Pembabitan aktif dalam kongres ini menjadi antara asas terlantiknya beliau sebagai Pengarah pertama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Tambahan pula pada ketika itu, jawatan Ketua Pengarah DBP belum wujud. Meskipun hanya setahun menyandang jawatan sebagai Pengarah DBP, namun asas hala tuju DBP cetusan beliau kemudiannya digerakkan oleh Tun Syed Nasir Syed Ismail sebagai Pengarah kedua DBP.\nSemangat bahasa dan sastera yang sentiasa terpugar dalam diri beliau sepanjang menjadi Pengarah DBP telah dibawa masuk ke dalam UM, lalu bertindak memartabatkan bahasa kebangsaan dengan mewajibkan setiap pengajaran subjek di UM perlu diajar dalam bahasa Melayu, kecuali bagi subjek tertentu, khususnya bidang perubatan. Pun demikian, pelbagai usaha digerakkan sehingga DBP akhirnya menterjemahkan setiap terminologi perubatan ke dalam bahasa Melayu. Kejituan semangat Kebangsaan beliau juga amat terserlah dan terpancar sehingga bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar di UM pacsamerdeka.\nPada tahun 1978, beliau turut mengilhamkan Rancangan Penulisan Kreatif dan Deskriptif (RPKD) di Fakulti Sastera UM, bersama-sama dengan Profesor Abu Bakar Hamid sebagai penyelarasnya. Cetusan ilham itu timbul daripada kesedaran beliau tentang peri pentingnya penulisan sebagai kemahiran bagi mahasiswa. Hal ini sejajar dengan usaha kerajaan dalam usaha meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam pendidikan tinggi negara.\nBeliau juga antara tokoh penting yang tidak menyetujui pelaksanaan Program Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) 2003. Beliau berpendapat, penguasaan bahasa Inggeris perlu ditingkatkan melalui pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris itu sendiri. Ketegasan sikap dan pendirian yang jelas ini menjadikan beliau tokoh yang disegani dan dikenangi hingga kini.\nMinat dan sokongan beliau terhadap aktiviti bahasa, sastera dan budaya juga tidak dapat dinafikan. Hal ini dapat dibuktikan melalui rakaman foto selepas persembahan wayang kulit yang dimainkan oleh Hashim Yaacob pada suatu ketika dahulu. Bahkan semasa\u00a0 Hasim Yaacob menjadi Naib Canselor UM ke-8, Ungku Aziz juga ada meletakkan wayang kulit dalam Muzium Seni Asia untuk menyemarakkan lagi pusat kebudayaan itu dalam usaha menghargai warisan negara.\nProgram Canai Bahasa dan Sastera ini telah berlangsung di Studio Siaran langsung Media Sosial DBP pada 19 Julai jam 10.00 pagi. Perkongsian pengalaman bersama Ungku Aziz oleh Hashim Yaacob ini telah memancing minat penonton dan moderatornya, Abdul Ghani Abu.\nProgram perbincangan ini boleh ditonton di sini. Beli buku biografi Riwayat Ungku Aziz di sini." "Tiada Pemenang Utama HSS 2020\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Hadiah Sastera Selangor (HSS) 2020 membawa kejutan apabila para juri bersepakat untuk tidak memilih pemenang utama bagi semua kategori, iaitu sajak, cerpen dan esei. Faizal Tehrani selaku Ketua Juri HSS, berkongsi ulasan pemilihan karya pertandingan dan berasa kesal kerana mutu perkembangan karya dari tahun ke tahun merosot pada tahun ini. Ujarnya, \u201cKeremajaan karya menenggelamkan kedewasaan, seakan-akan penyertaan penulis mengarang pada peringkat sekolah.\u201d\nAnugerah sastera yang ditunggu-tunggu oleh penulis tanah air, Majlis Anugerah Hadiah Sastera Selangor telah disiarkan secara langsung di Facebook Media Selangor pada 20 Julai jam 9.00 malam. Hadiah sastera ini merupakan satu-satunya pertandingan sastera peringkat negeri yang membuka penyertaan karya dari seluruh negara.\nMenteri Besar Selangor, YAB Dato\u2019 Seri Amirudin Shari mengharapkan Hadiah Sastera Selangor (HSS) yang terbit daripada ideanya enam tahun lalu dapat diteruskan dan menjadi wadah dalam meningkatkan mutu penulisan para penulis dari tahun ke tahun. Tambahnya, HSS akan menjalinkan kerjasama strategik dengan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk tahun hadapan. Beliau juga berharap agar perancangan mengadakan \u201ckursus kepakaran\u201d (masterclass) penulisan dapat dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti karya penulis.\nMajlis anugerah kali ini meraikan 11 orang pemenang hadiah penghargaan. Para pemenang termasuk Farahin Wahid, Md. Fariq Khir, Jaya Ramba, Ghazali Saiful, Jaymani Sevanathan, Daniyal Kadir, Nazreen Coklat, Jed Stellarose, Jack Malik, dan Siti Alimah. Jack Stellarose pernah memenangi hadiah utama kategori sajak HSS pada tahun 2018, manakala Nazreen Coklat menerima hadiah penghargaan berturut-turut dalam kategori esei HSS dari tahun 2018.\n\n\n\nPara penulis merakamkan ucapan penghargaan kepada HSS dan Kerajaan Negeri Selangor yang menyediakan platform membolehkan bakat penulis dikembangkan sekali gus menonjolkan gagasan kreatif mereka.\nTonton Hadiah Sastera Selangor 2020 di sini." "Hakikat Bahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBahasa bukan sekadar deretan bunyi-bunyi\nyang terbit daripada artikulasi\nBahasa bukan sekadar deretan aksara\nyang ternukil mewakili suara\nBahasa buka sekadar yang tertanggap oleh indera\noleh telinga dan oleh mata.\nBahasa\nsesungguhnya cerminan akal budi\npancaran diri dan pekerti\nasas jati diri\npaksi makna diri.\nBahasa\njuzuk diri yang hakiki\nternurani pada akal yang rohani\ntika roh pada jasad belum bersemadi\nmenjadi pengantara Khaliq dan makhluk berkomunikasi\ntentang ketuhanan Tuhan anak adam bersaksi:\nAlastu birabbikum; qalu bala syahidna.\nMaka itu\nusahlah dipersempit gagasan bahasa\npada lambang-lambang yang arbitrari.\nUsahlah diperkecil daerah selidiknya\npada yang tampak di zahir diri.\nUsahlah dipinggirkan di dunia sepi\ntika membangun ekonomi\ntika melonjakkan martabat diri\ntika membina acuan madan dan hadhari.\nUsah dibiarkan bahasa kita hanyut mencari nasibnya sendiri\ndirempuh tsunami globalisasi\ntersirna dalam kealpaan sendiri\ndek terkesima dalam mencari tamadun mithali\nhingga lupa akan sejarah gemilangnya sejak zaman bahari\nlupa akan tamadun yang telah bersemi\ndalam wacanan bahasa Melayu yang alami\ndengan barisan pujangga bestari \u2013\nHamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Abdul Rauf al-Singkili\nSyamsuddin al-Sumaterani\nSyeikh Abdul Samad al-Banjari, Syeikh Daud Fatani,\nRaja Ali Haji\ndan warisnya hingga kini.\nMarilah kita lestarikan\nsendi tamadun dan akal budi bangsa\nanugerah Allah Rabbulalamin\ndalam membina jati diri\ndalam membina kekuatan peribadi\ndalam membina harga diri.\nPuisi ini merupakan antara 55 puisi yang terhimpun dalam kumpulan puisi Mencari Makna Diri." "Kayu Ukur Cerpen Layak Diterbitkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSebagai penulis pemula, tentunya akan wujud seribu satu kebimbangan dan ketakutan yang bermain-main di fikiran ketika mahu menukang sebuah cerpen. Antara yang menjadi kerisauan termasuklah, adakah cerpen yang dihasilkan itu menepati ciri-ciri sebuah cerpen yang baik dan layak untuk diterbitkan? Apakah yang dikatakan sebuah cerpen yang baik? Bagaimanakah seorang editor menilai sesebuah karya sehingga membolehkan karya itu diterbitkan?\nJusteru, bagi menjawab persoalan ini, Secangkir Kopi Jam Sepuluh yang disiarkan pada Sabtu, 10 Julai 2021 meneroka dan mengupas isu ini sebagai panduan. Dengan judul tajuk \u201cTip Cerpen Pasti Terbit\u201d, dalam episod pertama musim keempat ini, Secangkir Kopi Jam Sepuluh memperkenal konsep baharu, iaitu dengan mengajak penonton untuk mula mengaplikasi ilmu penulisan, panduan dan teknik gaya bahasa yang telah dikutip dalam siaran yang lalu menerusi penulisan cerpen.\nSatu lagi kelainan yang ditonjolkan dalam musim keempat ini ialah, menampilkan seorang tetamu panel yang berpengalaman luas dalam bidang editorial, iaitu Rozninah Abd. Azib. Memulakan kerjayanya sebagai pelukis di Bahagian Reka Bentuk di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1985, Rozninah yang ditugaskan di Bahagian Majalah telah pun menangani majalah Dewan Sastera selama 15 tahun. Antara karya nama-nama besar yang beliau tangani sepanjang perkhidmatan termasuk Fatimah Busu, Sasterawan Negara Dato\u2019 Baha Zain dan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad.\nNisah Haron memulakan perbincangan dengan memperkenal maksud eceran. Eceran ialah perkataan terbitan daripada ecer yang bermaksud runcit. Cerpen eceran ialah cerpen yang diterbitkan oleh media cetak dan tersiar dalam majalah dan akhbar. Nisah menyarankan untuk membaca cerpen-cerpen yang telah terbit di media cetak sebagai langkah permulaan bagi menulis cerpen. Calon penulis juga perlu mengenali rumah penerbitan dan mengetahui konsep atau tema sesebuah majalah atau akhbar melalui pembacaan karya yang telah diterbitkan enam bulan ke belakang.\nSeorang penulis yang baik seboleh-bolehnya akan memudahkan tugas seorang editor dengan meminimumkan kesalahan dari sudut tatabahasa dan ejaan. Dari sudut teknikal pula, penulis wajar mengetahui ruang halaman yang disediakan, jenis dan saiz tulisan serta saiz langkau yang diterima. Misalnya untuk Dewan Sastera, format tulisan hendaklah dalam fon Arial, bersaiz 12 dan langkau dua baris.\n\u201cPatuhi tarikh akhir, jangan semberono menghantar karya tanpa tujuan. Setiap cerpen yang saya tulis saya sudah pastikan di mana saya mahu hantar,\u201d tegas beliau.\nMenurutnya lagi, penulisan cerpen yang baik ialah penulisan yang mengandungi tiga perkara, iaitu manusia, peristiwa dan pemikiran. Penulislah yang mengawal ketiga-tiga unsur ini. Ada bahagian tertentu yang dibantu oleh editor untuk menambah nilai sesebuah karya. Namun, dalam hal pemikiran, ia berada di luar batas tugas seorang editor. Penulis cerpen yang baik berjaya membawa watak-wataknya dalam menangani satu-satu isu yang dibawakan. Hasilnya, pembaca dapat menghayati dan berfikir tentang maksud isu yang ingin disampaikan. Inilah yang dikatakan kematangan pemikiran yang terbias dalam penulisan.\nKenyataan itu mendapat sokongan Rozninah Abd. Azib. Katanya, \u201cSetiap cerpen yang sampai ke meja akan saya baca secara cepat atau speed reading. Pertamanya, saya akan lihat isu yang dibawa dalam cerpen. Keduanya, perihal idea dan pemikiran, saya akan menilai komentar dan kritikannya, adakah ia menarik? Ketiga, saya akan lihat dari segi teknik dan gaya bahasa. Setelah itu, saya akan tempatkan cerpen itu mengikut kategori fail, iaitu Fail Sedia Terbit, Fail Lihat Semula dan Fail Tolak.\u201d\nRozninah juga menyeru kepada para editor supaya tidak hanya menilai luaran cerpen dengan hanya melihat jumlah halaman panjang atau pendek tanpa membacanya. \u201cJangan fikir cerpen yang pendek, isinya cetek. Jika halaman itu panjang, mungkin boleh dijadikan dua atau tiga cerpen. Apa-apa pun berbincanglah dahulu dengan penulis,\u201d katanya.\nSeorang penulis mempunyai peluang berkarya yang luas jika penulis itu bijak merancang penulisannya. DBP menyediakan lapan majalah yang boleh diterokai oleh penulis untuk menyiarkan cerpen. Antaranya termasuklah majalah Dewan Sastera, Dewan Bahasa, Pelita Bahasa, Dewan Siswa (yang menyediakan dua ruangan cerpen, iaitu Cerpen Daripada Siswa dan Cerpen Untuk Siswa), Dewan Budaya, Dewan Tamadun Islam, dan Tunas Cipta.\nPada zaman kini, ada banyak kemudahan dan pilihan bagi penulis untuk menerbitkan cerpen sendiri menerusi swaterbit. Namun, amat disyorkan untuk menghantar karya ke media cetak arus perdana sebagai langkah permulaan. Hal yang demikian penting oleh sebab kredibiliti dan prestij yang dimiliki oleh platform tersebut. Karya yang tersiar sudah pastinya teruji dan terbukti baik dan bagus.\n\nUntuk menonton \u201cTip Cerpen Pasti Terbit\u201d boleh tekan pautan ini.\nPelayar juga boleh terus ke halaman Secangkir Kopi Jam Sepuluh di Facebook untuk menonton episod-episod terdahulu." "Syairan Adab Bahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSalam bahasa bermula kata,\nBersyairan pesan mahu dicuba,\nAdab Bahasa syair tajuknya,\nDengarkanlah saudara moga ada faedahnya.\nMengguna dengan landasan manusiawi,\nItulah panduan utama harus kita akui,\nDengan bahasa kita menjiwai,\nPerhubungan manusia terjalin insani.\nMelafaz dengan senonoh harus dipasti,\nTanpa melucah tanpa meludahi,\nHindarkan seranah himpunan maki,\nItulah punca banyak yang terlukai.\nMenyusun kata dengan akal budi,\nJadikan bahasa terhimpun segala ilmi,\nDengan ilham dan kesadaran membumi,\nTerbangun masyarakat yang menyantuni.\nMengatur istilah tanpa sikap mencerobohi,\nBerbahasa bukan dengan bernafsu-nafsi,\nGurau dan senda pandai dibatasi,\nBukan sesenang bicara sampai menderai.\nMengelak keganasan bahasa sama dijauhi,\nBaik ungkapan dan perbuatan pasti,\nSeperti ugutan samsengan yang mengganasi,\nBayangkan sendiri kalau kita pula dianiayai.\nMenyampai dengan tidak menghina mengaibi,\nItulah adab yang kita sudah diajari,\nBaik yang miskin kaya, rendah dan tinggi,\nIntinya berbahasa mengendah nan beradili.\nMembahasa dengan tidak mengangkuh diri,\nBaik dalam kata mahupun tulisan sendiri,\nUsahlah fikir kita saja yang benar dan murni,\nMana yang terlebih cepat kita teguri dan sedari.\nMelantun kias perumpamaan dengan berhati,\nKerana tujuan mencapai tafsir maknawi,\nTetapi bukan bermain kata untuk mengkaburi,\nKerana itu adalah jahat bagai syaitani.\nMengguna dengan bertimbang merasai,\nItulah bahasa yang molek berharmoni,\nYang mengakrabi dan mendekati,\nBukan menjauhkan atau memusuhi.\nMengetepikan bahasa yang menyumpahi dan mengkhianati,\nTermasuk yang terpegun minda tertawani,\nItulah punca pikiran tak mandiri,\nAkibatnya selama fikiran membuntuti.\nSaudara sebahasa samalah diingati,\nSoal bahasa bukan setakat berjawi berumi,\nSoal bahasa pada dasarnya paling asasi,\nPenyempurnaan bahasa pencerahan manusiawi." "Melestarikan Pantun sebagai Warisan Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPantun ialah warisan peradaban dan seni budaya Nusantara yang tinggi nilainya. Pantun diamalkan sekian lama dalam masyarakat rumpun Melayu. Pantun menggambarkan genius Melayu dalam tutur kata. Oleh yang demikian, pantun telah diiktiraf sebagai Warisan Melayu tidak Ketara oleh UNESCO pada 17 Disember 2020 di Paris, Perancis.\nBersempena dengan pengiktirafan ini juga, Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara serta agensi kerajaan negeri dan persekutuan telah mengambil inisiatif mengadakan siaran langsung webinar \u201cPantun Sebagai Warisan Peradaban Rumpun Melayu Nusantara\u201d pada 21 Julai 2021 jam 10.00 pagi bersama-sama moderatornya Ezlina Alias, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Melaka.\n\u201cSetelah kedatangan Islam di Nusantara, al-Quran dijadikan panduan menulis pantun dengan daya keintelektualan orang Melayu menyesuaikan suasana dengan tutur kata. Misalnya, Surah An-Nas, perhatikan kalimah akhir setiap ayatnya yang sama, iaitu \u2018\u0627\u0644\u0646\u0627\u0633\u2019, betapa cantik rimanya tersusun,\u201d ujar YBhg. Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar selaku Pengerusi Biro Sosiobudaya, Dunia Melayu Dunia Islam.\nBetapa kuat pengaruh kedatangan Islam dalam sosiobudaya Melayu sehingga para pedagang dan sesiapa sahaja yang ingin memasuki rumpun Melayu perlu berpantun. Daya keintelektualan orang Melayu terdahulu amat menyerlah kerana pantun menjadi tutur bicara yang dilazimi oleh penutur tanpa perlu pun menulisnya.\n\u201cItulah warisan khazanah kita yang patut diajar dan dididik dalam sistem persekolahan, bukan semata-mata untuk peperiksaan, tetapi perlu dihayati,\u201d tambah Abdul Latiff yang juga merupakan Pengerusi Majlis Penasihat Peradaban Melayu Malaysia.\nPantun juga dikenali bukan sekadar bentuk dan diksinya, malah melalui pernyataan mesejnya. Kaedah pernyataan secara lisan yang tertampil pada kandungan, ilmu, gaya bahasa, kritikan, sindiran dan jenaka, mencakupi seluruh aspek kehidupan dan tamadun masyarakat.\n\u201cPantun memancarkan peradaban dan mewakili tasawur manusia. Demikian Islam menjentik nilai keagamaan dan peradaban dalam pemikiran masyarakat Melayu. Justeru, muncul pantun-pantun berbentuk akidah dan ibadah yang mengandungi nilai-nilai keagamaan. Pantun dan rangkapnya juga menggambarkan retorik orang Melayu. Gaya hiperbola dan rima yang mengandungi bunyi-bunyian indah merupakan pengucapan yang tinggi nilai estetikanya,\u201d jelas YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Hj. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka.\nAntara contoh pantun yang mengandungi nilai adab, budi dan unsur hiperbola ialah:\nBurung serindit terbang melayang, Berhenti hinggap di ranting mati;\nBukan ringgit dipandang orang, Tetapi memandang bahasa dan budi.\n\u00a0Rumah kecil tiang seribu, Rumah besar tiang sebatang;\nSewaktu kecil ditimang ibu, Sudah besar ditatang gelombang.\nAwang Sariyan juga sempat membacakan pantun ciptaannya sendiri yang mengandungi unsur tasawur terhadap nilai keagamaan:\nIntan permata penghias mahkota, Dibawa orang ke Inderagiri;\nCercaan di dunia hanya sementara, Di mizan Allah hakikatnya terbukti.\nSementara itu, YBhg. Associates Proffesor Dato\u2019 Perdana Dr. H. Abd. Malek, M. Pd selaku Pengerusi Biro Sosio Budaya DMDI Provinsi Kepulauan Riau Indonesia pula mengupas tentang sejarah penulisan pantun dan ontologi estetika Melayu.\nTerang beliau, \u201cPenulis pertama yang telah menerbitkan buku kumpulan pantun ialah Haji Ibrahim, iaitu seorang penulis Kesultanan Riau-Lingga yang seangkatan dengan Raja Ali Haji. Haji Ibrahim juga merupakan orang pertama yang menulis estimologi bahasa Melayu. Daya pikat yang terkandung dalam pantun mempunyai cita rasa yang penuh kejutan tetapi sangat indah, bermakna dan bermanfaat.\u201d\nTambahnya lagi, pantun juga berperanan sebagai penyerlah kehalusan budi. Atas dasar itu jugalah, ahli linguistik, Renward Brandstetter mengaitkan akar kata \u2018tun\u2019 sebagai teratur dan berhubung makna dengan \u2018tuntun\u2019 yang bermaksud bimbing, membimbing, mengatur dan menggerakkan. Maka dengan itu, sastera khasnya pantun berperanan menyatakan hasrat, semangat dan tanggungjawab untuk mengekalkan budi yang dapat diwujudkan menjadi peneguh serta pengubah jati diri dan karakter bangsa.\n\u201cJika pantun memenuhi syarat ontologi estetika Melayu iaitu \u2018Seri Pantai\u2019 (keindahan zahiriah, duniawi 4-6 kata dalam satu baris) dan \u2018Seri Gunung\u2019 (keindahan batiniah, Ilahiah yang sesuai dengan ajaran Tuhan) maka ia layak dipanggil \u2018Sadu Perdana\u2019 (sungguh bermakna) dan boleh diberikan tujuh laksana (tujuh bintang),\u201d jelas Abd. Malek.\nBeliau juga menampilkan pengamalan pantun di kepulauan Riau yang menjadi komunikasi harian dalam media, acara adat istiadat, permainan kanak-kanak, kesenian dan lagu Melayu, selain siaran radio, televisyen serta teater tradisional.\nPada akhir webinar, para panel menyimpulkan peri pentingnya peranan kerajaan bagi memastikan kelestarian pemerkasaan pantun dalam rumpun Melayu. Pesta pantun misalnya, perlu diangkat dengan nilai hadiah yang tinggi kerana inilah warisan kebudayaan negara bersama. Sokongan pemimpin sangat penting demi memastikan warisan budaya ini dipandang tinggi di mata masyarakat.\nSiaran ulangan webinar ini boleh ditonton di laman sosial media JKKN Melaka Fan Page." "Aura Watak Wanita Azmah Nordin Hidup Sepanjang Zaman\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cSeorang penulis itu berprinsip, dan pastilah ada pro dan kontranya dalam konsep menulis berprinsip itu. Kita boleh nampak bagaimana Azmah Nordin sangat berpegang teguh pada prinsipnya dalam setiap karya-karya beliau,\u201d Prof Madya Dr. Asmiaty Amat, penulis buku Menyingkap Gelojak Rasa dan Citra Azmah Nordin memberikan sedikit gambaran tentang citra sasterawan dan juga pemenang SEA Write Award 2009, Azmah Nordin mampu hidangkan pada pembaca era sekarang.\n\nAzmah Nordin sering dikatakan sebagai seorang feminis tegar dalam kalangan peminat sastera tempatan. Karya beliau mengetengahkan wanita yang bercita-cita tinggi dan menyingkap penceritaan kewanitaan yang berbeza daripada apa-apa yang ada di pasaran pada era 1990-an.\nBeliau sememangnya dikenali sebagai seorang pengarang yang prolifik dengan kejayaan menghasilkan sejumlah buku yang banyak, selain memenangi banyak hadiah dan anugerah sastera di arena sastera tempatan.\nSepanjang kegiatan penulisannya yang masih segar di medan sastera, Asmiaty menyifatkan penyiaran karya Azmah yang terbit tanpa henti sebagai \u201ckeluar bertalu-talu\u201d dan \u201cpenulis bertenaga luar biasa\u201d.\n\u201cAzmah sentiasa meletakkan satu konsep dalam karyanya, iaitu dia ingin melihat wanita ini menjadi seorang manusia yang kuat dan berprofil. Dalam Dukanya Abadi, wataknya menjalani perjalanan perkembangan diri daripada seorang suri rumah dan berprofil rendah, akhirnya berkembang seiring cerita menjadi seorang wanita korporat. Bila saya tanya, apakah inspirasi Azmah untuk menulis sebegini, jawab beliau, dengan melihat wanita-wanita sekeliling,\u201d terang Asmiaty.\n\u201cTapi beliau sendiri tak pernah mengaku sebagai seorang feminis, malah menidakkannya.\u201d\nPenulis novel Timulak Kapal Perang ini dikatakan sebagai seorang yang pemalu, tetapi penulisannya digarap dengan semangat yang berkobar-kobar dan bercita-cita tinggi apabila menonjolkan jati diri seorang wanita. Hampir semua jenis kerjaya dan pekerjaan wanita telah disentuh oleh Azmah Nordin dalam karya-karyanya, sekali gus meletakkan posisi wanita dalam kerjaya yang versatil.\n\u201cDaripada doktor, usahawan, cikgu, ahli korporat, pengusaha hotel, pengusaha percetakan, malah presiden syarikat korporat telah diterokainya bagi watak wanita dalam karyanya,\u201d tambah Asmiaty.\nCita-citanya yang tinggi untuk meletakkan wanita dalam pelbagai kerjaya itu juga telah melahirkan satu bentuk cereka baharu dalam dunia sastera tanah air ketika itu.\nApabila mengikuti riwayat hidup Azmah, beliau pernah menjadi wartawan. Asmiaty menyatakan, daripada pengalaman itulah menjadikan Azmah Nordin amat sensitif dalam kerja menulis dan sentiasa membuat penyelidikan ketika menghasilkan sesebuah karya.\n\u201cWatak-watak wanita Azmah Nordin mempunyai pemikiran dan prinsip yang tetap relevan untuk dibicarakan, baik dari kaca mata dunia silam, semasa dan masa hadapan.\n\u201cKesimpulannya, Azmah meletakkan wanita sebagai insan yang harus berjalan seiring dengan kita, umat manusia, bukan di belakang, bukan di bawah, dan bukan di atas, tapi seiring bersama menulusuri kehidupan dan mengejar kejayaan.\u201d\nRancangan Bicara Karyawan yang dikendalikan Rafiq Rahman ini berlangsung pada 19 Julai, 12.00 tengah hari. Rancangan ini mengumpulkan karyawan bersama-sama karya ciptaannya sebagai perbincangan.\nProgram bicara buku ini boleh ditonton di sini. Buku kritikan sastera Menyingkap Gelojak Rasa dan Citra Azmah Nordin boleh dibeli di sini." "Seram Wabak dalam Drama Camus\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nZulkifli Salleh membaca naskhah drama Albert Camus yang menggambarkan penularan wabak yang menakutkan dan cara pihak penguasa membendungnya.\nApa pedulinya laut dengan perang dan wabak? Para penguasa datang dan pergi, tetapi laut tetap laut. Laut bertahan, malah berapa banyak penguasa yang ditelan oleh laut! Pemujaan warga kota Cadiz terhadap laut seakan-akan suatu perbuatan eskapisme.\nSophocles (sekitar 496\u2013406 SM), dilahirkan di Colonus, dekat Athens, dengan Aeschylus dan Euripides, salah seorang daripada tiga dramatis tragik agung Yunani. Karya beliau yang paling terkenal ialah Oedipus Rex (Sang Raja Oedipus). Drama ini bermula dengan kota Thebes diserang oleh wabak dan warganya merayu kepada Oedipus untuk mencari ubat. Dia mendapatkan nasihat daripada para nujum di Delphi, yang mengisytiharkan bahawa wabak akan reda hanya apabila pembunuh suami pertama Jocasta, Raja Laius, ditemui dan dihukum. Oedipus memutuskan untuk mencari pembunuh Laius. Tidak dia ketahui, langkahnya itu membawa derita yang lebih mendalam, dan lebih menyakitkan.\nKesakitan dek wabak yang merebak juga timbul pada tahun 1948. Albert Camus yang terkenal dengan novel wabak, The Plague,\u00a0juga menghasilkan drama tiga babak berjudul The State of Siege.\u00a0Drama moden ini menampilkan perintah berkurung dan keadaan darurat yang seakan-akan sama dialami di serata dunia, termasuk Malaysia. Dalam drama ini yang berlatarkan kota Cadiz di Sepanyol, Camus menampilkan pandangan tiga tokoh watak tentang wabak yang melanda, iaitu datuk bandar di istana, pendeta di gereja, dan hakim di rumahnya.\nDatuk bandar dengan nada putus asa memberitahu bahawa wabak sedang menular dengan pantas sehingga mereka tidak mempunyai harapan untuk membasminya. Jangkitan sudah mencengkam tubuh badan rakyatnya dengan berleluasa. Pekan-pekan terpencil yang padat dengan orang miskin, paling parah terkena dampaknya. Pendeta pula menyarankan agar orang ramai mendekati Tuhan, lalu masing-masing mengaku telah melakukan dosa-dosa besar di hadapan khalayak. Saranan ini menunjukkan pandangan lazim tokoh agama setiap kali wabak melanda: akibat kejahatan atau dosa yang manusia lakukan, kemurkaan Tuhan diturunkan.\nSementara itu, hakim berkata, \u201cAku dengan nama Tuhan, Dia pelindung dan bentengku: Tuhanku, kepada-Nya aku percaya. Dia pasti akan membebaskan kalian daripada wabak ganas ini.\u201d Melalui panduan suara, kita dapat mendengar: \u201cKamu tidak boleh takut terhadap keganasan waktu malam; juga terhadap anak panah yang meluncur waktu siang. Juga terhadap wabak yang merangkak dalam gelap; juga terhadap penghancuran yang berlangsung waktu siang.\u201d Mungkin kiasan ini bertujuan untuk menyuntik semangat perpaduan dan kesatuan hati para penduduk yang dilanda oleh wabak, agar mereka tabah menghadapi musibah.\nDalam drama ini, kita dapat mengetahui amalan \u201cpengasingan\u201d (kuarantin) melalui dialog antara Diego dengan Victoria. Diego memberitahu Victoria yang semakin menghampirinya supaya pergi jauh kerana dia tahu dirinya sudah menghidap penyakit dan tidak mahu menjangkiti Victoria. Sementara itu, datuk bandar memberitahu bahawa gabenor yang prihatin telah memerintahkan agar semua pertemuan umum dan aktiviti hiburan di tempat awam dilarang dengan serta-merta. Gabenor juga mengarahkan datuk bandar supaya mendapatkan nasihat perubatan yang terbaik kerana warga kota perlu diyakinkan kemungkinan penyebaran wabak ini tidak mampu dibendung lagi. Langkah gabenor dalam drama ini agak berbeza dengan sesetengah pemimpin dunia yang tidak mempercayai sains, meskipun negara mereka dilanda teruk oleh pandemik COVID-19.\nSebagai pemakluman kepada orang ramai demi mengelak daripada dijangkiti, maka \u201csemua rumah yang dijangkiti akan diberikan tanda di pintu depannya dengan tanda wabak, iaitu sebuah lakaran bintang berwarna hitam dan di atasnya ditulis: \u2018Kita semua bersaudara\u2019. Bintang ini akan tetap berada di tempatnya sehinggalah rumah tersebut selamat dan dibuka semula. Pelanggaran peraturan ini akan dikenakan hukuman yang keras.\u201d Namun begitu, sebilangan warga kota tetap membantah perintah itu. Mereka mengatakan, para penguasa pernah berjanji akan melindungi mereka, namun kini mereka dikurung untuk mati sendirian.\nPeraturan berkurung tetap diperkenalkan. Semua lampu harus dimatikan tepat pada pukul 9.00 malam. Tidak ada seorang pun yang diizinkan untuk berada di tempat awam selepas jam 9.00, atau meninggalkan rumah tanpa izin rasmi dengan borang, yang hanya akan disahkan bagi kes yang sangat khusus dan sudah dipertimbangkan dengan teliti oleh pihak berkuasa. Pelanggaran peraturan ini akan dikenakan hukuman yang keras. Peraturan yang diperkenalkan ini mengingatkan kita di Malaysia, akan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama beberapa bulan: orang ramai tidak dibenarkan keluar rumah dan meninggalkan kawasan atau daerah kediaman mereka sesuka hati.\nUntuk memastikan warga kota Cadiz memperoleh keperluan asas yang cukup sewaktu perintah darurat, maka diumumkan, \u201cbahan makanan daripada tumbuh-tumbuhan harus digunakan untuk melayan permintaan masyarakat, yakni makanan tersebut akan dibahagi sama rata untuk semua yang terbukti patuh pada tatanan sosial baharu.\u201d Dengan kata lain, orang yang mengingkari tatanan sosial baharu \u2013 atau \u201cnorma baharu\u201d dalam pengertian sekarang \u2013 tidak boleh menikmati kemudahan yang disediakan oleh pihak berkuasa. Mana-mana pihak berkuasa perlu menunjukkan ketegasan dalam pelaksanaan peraturan demi membendung wabak merebak. Mereka perlu bertindak seperti penguasa dalam Leviathan Thomas Hobbes.\nDalam drama ini (juga seperti dalam The Plague), Albert Camus menunjukkan langkah yang diambil oleh pihak berkuasa untuk membendung penularan wabak, iaitu dengan menutup pintu gerbang secara beransur-ansur. Langkah ini menyebabkan sesetengah warga kota berura-ura untuk meninggalkan kota itu melalui pintu gerbang yang masih dibuka. \u201cKita adalah anak-anak laut. Pergi! Pergi! Laut memanggil-manggil kita ke tempat-tempat menyenangkan tanpa tembok-tembok atau gerbang-gerbang, ke pantai yang pastinya masih perawan, sedingin bibir perawan, dan tempat mata kita silau memandang ke laut. Mari pergi untuk bertemu angin. Pergi! Pergi ke laut! Ke gelombang-gelombang yang tidak terkongkong, ke air yang jernih dan bersih, angin kebebasan yang bercahaya.\u201d Memang jelas, orang ramai menjadi tidak keruan apabila kota mereka ditutup dan terpaksa berkurung. Hal yang sedemikian juga berlaku ketika penguatkuasaan PKP yang diumumkan pada 16 Mac 2020: orang ramai berasak-asak cuba meninggalkan kota kediaman mereka untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.\nBagi penduduk kota itu, laut akan menyelamatkan mereka. Apa pedulinya laut dengan perang dan wabak? Para penguasa datang dan pergi, tetapi laut tetap laut. Laut bertahan, malah berapa banyak penguasa yang ditelan oleh laut! Pemujaan warga kota Cadiz terhadap laut seakan-akan suatu perbuatan \u201ceskapisme\u201d. Mereka seakan-akan lari daripada hakikat bahawa kota mereka sedang dilanda wabak. Mereka cuba lari daripada keadaan sekeliling yang penuh dengan kepanikan, penghinaan dan pendirian pengecut, sebelum pintu-pintu gerbang ditutup. Mereka mahu lari ke laut yang bercahaya, dengan pemandangan permukaan birunya yang luas dan dibelai angin.\nJumlah kematian yang sangat tinggi dijelaskan melalui peti mayat yang semakin langka. Kain kapan dan petak lubang di tanah perkuburan juga bertambah kurang.\nPenguburan mangsa wabak yang dibuat dengan segera juga timbul dalam The State of Siege. Pada mulanya, upacara penguburan mengikut tradisi agama dilakukan secara sederhana, namun makin lama kemudian, upacara ditiadakan. \u201cBerjaga-jaga, memenuhi upacara keagamaan tidak lagi dibenarkan, sehingga mereka yang meninggal waktu petang akan terbaring sendirian; dan mereka yang meninggal waktu siang, tanpa menunggu, segera dikuburkan.\u201d\nBagi kaum keluarga pula, meskipun mereka diberitahu, mereka sendiri dimasukkan ke pusat kuarantin. Pada mulanya, mereka berasa tersinggung kerana anggota keluarga mereka yang meninggal dunia dilayan sebegitu, namun akhirnya mereka juga akur akan hakikat kehidupan semasa epidemik. Jumlah kematian yang sangat tinggi dijelaskan melalui peti mayat yang semakin langka. Kain kapan dan petak lubang di tanah perkuburan juga bertambah kurang. Pengurusan mayat juga dilakukan \u201cdengan cepat, yang tidak bernyawa dilemparkan terus ke dalam lubang . Dan lubang yang semakin lama digali semakin dalam itu, mayat-mayat tidak lagi dapat dibeza-bezakan antara satu sama lain. Namun begitu, tidak lama kemudian, harus digali tempat baharu dan dicari akal lain. Pegawai keselamatan mengeluarkan keputusan darurat untuk menarik hak milik perkuburan, sehingga mayat-mayat yang telah dikebumikan digali kembali, lalu sisa-sisanya dibawa ke tempat pembakaran.\u201d\nHuru-hara penguburan dan mayat makin mengancam keadaan. Seorang wanita menyuarakan kerisauannya yang berbaur ketakutan: \u201cItu! Lihat itu! Orang itu menyembunyikan mayat. Hal ini tidak boleh dibiarkan. Kita semua akan dijangkiti. Mengapa mereka tidak pergi menguburkannya?\u201d\nWabak yang menimpa kota Cadiz juga bukanlah sesuatu fenomena yang tidak pernah berlaku sebelumnya. Warga kota Cadiz sendiri tahu tentang malapetaka wabak yang dahsyat dalam sejarah. Bagaimana selama \u201cribuan tahun wabak telah menaburi ladang-ladang dan kota-kota mereka dengan mayat-mayat. Korban wabak telah menyuburkan pasir-pasir di Libya dan Etiopia menjadi hitam, daratan Parsi masih subur dengan keringat mangsa wabak. Kuil Athens dengan api pemurnian, menyala di pantai-pantainya dengan ribuan longgokan kayu api pemakaman, dan wabak menaburi lautan Yunani dengan abu tebal sehingga warna biru laut berubah menjadi abu. Para dewa, bahkan para dewa yang malang memberontak melihat tindakan wabak. Kemudian, ketika kuil-kuil berubah menjadi katedral, pasukan wabak berkuda hitam mengisi tempat-tempat itu dengan massa yang meraung-raung. Selama bertahun-tahun sampai tidak terhingga, di lima benua, wabak membunuh tanpa henti, tanpa penyesalan.\u201d\nSeakan-akan suatu kelaziman sejak Wabak Athens, Wabak Besar London, wabak yang berlaku dalam dua karya Camus, dan kini, pandemik COVID-19, keterukan wabak ditunjukkan melalui jumlah kematian. Mayat bertimbun-timbun kerana pengebumian tidak diuruskan, atau upacara pengebumian hanya secara ala kadar. Perkuburan massa merupakan gambaran lazim setiap kali wabak melanda, termasuk COVID-19. Di Brazil, negara yang menduduki tempat ketiga tertinggi di dunia\u00a0selepas Amerika Syarikat dan Rusia, dilaporkan beratus-ratus kubur massa digali kerana negara itu mencatatkan 21 116 kes kematian akibat virus korona pada 22 Mei. Di Sao Paulo, antara kota Brazil yang dilanda dengan teruk, video aerial menunjukkan deretan plot terbuka di Perkuburan Formosa, setiap satunya perlu tergesa-gesa untuk memenuhi permintaan penguburan.\nWilayah yang paling banyak penduduk di Afrika Selatan, termasuk kota Johannesburg dan Pretoria, menyiapkan kira-kira 1.5 tapak perkuburan untuk kemungkinan perkuburan massa kerana kes virus corona di negara itu mula meningkat. Seperti pada 16 Julai, Afrika Selatan menduduki tangga ketujuh tertinggi di dunia dari segi bilangan kes yang disahkan, iaitu 311 049 kes, dengan 4453 kes kematian. Pada 4 Julai, CGTN melaporkan bahawa pihak berkuasa tempatan menggali kubur besar-besaran di perkuburan di seluruh Bolivia untuk menerima gelombang baharu mangsa COVID-19. Ketika itu, Bolivia mencatatkan 35 500 kes virus dan 1200 kes kematian. Meskipun jumlah itu rendah jika dibandingkan dengan negara jirannya, Peru, Chile, dan Brazil, kes baharu terus meningkat dalam beberapa minggu terakhir, membebankan sistem penjagaan kesihatan yang rapuh di sesetengah kawasan negara itu.\nSementara itu, National Geographic\u00a0keluaran Ogos 2020 menegaskan bagaimana pandemik telah mengubah kita dengan menunjukkan gambar mayat yang disyaki mangsa COVID-19 terbaring di sebuah hospital di Indonesia. Selepas pesakit itu meninggal dunia, jururawat membalut mayat dalam lapisan plastik dan menggunakan penyahjangkitan untuk mencegah merebaknya virus. Majalah itu juga menunjukkan mayat warga asing yang meninggal ketika pandemik COVID-19 disimpan di dalam rumah mayat di Milan sehingga mayat itu boleh dikirimkan ke negara si mati. Rumah mayat di wilayah Lombardy, Itali pula penuh dengan mayat sehingga menyebabkan mayat perlu dihantar ke wilayah lain untuk pembakaran. Pihak berkuasa Itali melarang upacara pengebumian di seluruh negara, memaksa kaum keluarga berkabung sahaja di rumah.\nSeram wabak dalam The State of Siege menjadi lumrah dunia sekarang. Apabila wabak semakin mengganas, hanya sebuah pintu gerbang sahaja yang belum ditutup. Penduduk kota Cadiz bercadang untuk keluar meninggalkan kota itu. Melalui panduan suara, kedengaran \u201cWabak bergerak lebih cepat daripada kita. Wabak membenci laut dan angin, memisahkan kita dari laut. Di luar sana, malam-malam masih tenang, bintang-bintang meluncur di atas puncak-puncak tiang kapal, bayangnya memantul di laut biru. Apa yang dicari oleh wabak di kota ini? Wabak ingin mencengkeram kita, kerana wabak mencintai kita menurut caranya. Wabak menginginkan kita bahagia, bukan menurut cara kita, tetapi menurut caranya.\u201d\nUntuk membendung penularan melalui udara (kerana percakapan membawa jangkitan), maka penduduk Cadiz dikehendaki untuk memakai \u201cpelitup muka\u201d. Seperti yang diumumkan oleh petugas, \u201ckalian semua diperintahkan untuk menyumpal mulut dengan kain lap yang sudah direndam dengan cuka. Hal ini bukan hanya akan melindungi kalian daripada penyakit itu, juga mengajarkan kebijaksanaan dan seni berdiam.\u201d\nSelain hakikat jangkitan yang menyeramkan, drama ini turut menampilkan keseraman kuasa yang menuju pada peringkat autoritarian. Sebalik cara yang keras dan perlu patuh arahan pihak penguasa, timbul kritikan terhadap cengkaman kuasa, lalu kita menyoal hal kemanusiaan yang makin menipis dalam keadaan serba menurut dan huru-hara kematian massa dan jangkitan yang terus-menerus merebak. Berbanding dengan novel Camus, naskhah drama ini agak nipis dan kurang mendapat perhatian. Para penulis dan pembaca lebih berminat membaca, merujuk dan meninjau semula The Plague yang dianggap sebagai karya agung Albert Camus daripada karya drama ini. Namun begitu, melalui drama The State of Siege, kita tetap juga dapat memahami penularan wabak marabahaya, akibatnya, seram yang dibawanya, dan kemungkinan cara kita menghadapinya ketika musibahnya menghampiri kita.\nBeli The State of Siege di sini.\nNota: Terjemahan petikan The State of Siege oleh penulis dalam makalah ini mengguna pakai teks terjemahan dari Indonesia, Sampar (Mata Angin, 2001) sebagai rujukan.\n_________________________\nZulkifli Salleh ialah mantan Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selain pernah menjawat tugas sebagai Ketua Bahagian Ensiklopedia, Ketua Editor Buku Sastera dan Ketua Editor Majalah di DBP. Antara hasil karyanya termasuk Idea-idea Besar Ekonomi Politik Dunia (DBP, 2019) dan Krisis Tidak Berhujung (DBP, 2018)." "Tentang (Peri)Bahasa, Kritikan dan Bermain\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJack Malik memberikan pandangan balas terhadap tulisan Salman Sulaiman tentang pengertian bahasa dan kritikan, serta pentingnya memahami permainan kata dan bahasa. \nSuatu penganiayaan seseorang pengkritik boleh lakukan ialah, mengkritik apa-apa yang dia tidak fahami sepenuhnya, atau lebih jahat, tidak ingin memahaminya.\nUngkapan \u201cKerja tanpa libur buat jiwa jadi lebur\u201d ialah terjemahan bukan rasmi (oleh Anas Affandi dari Twitter) yang paling saya suka untuk peribahasa Inggeris \u201cAll work and no play makes Jack a dull boy\u201d. Lebih anggun dan molek daripada yang ada dalam kepala saya, iaitu \u201cKerja tanpa waktu main jadikan Awang penat dan bosan.\u201d\nUngkapan dalam bahasa sumbernya amat menarik. Bahasa bagi saya boleh menceritakan banyak hal tentang pandangan alam dan citra bangsanya. Lihat perbezaan \u201ckill two birds with one stone\u201d dengan \u201csambil menyelam minum air\u201d. Kedua-dua ungkapan itu mempunyai maksud yang sama tetapi pendekatannya secara radikal berlainan: satu berunsur keganasan manakala satu lagi berbilang tugas. Dan, perkara yang lebih menarik, \u201call work and no play makes Jack a dull boy\u201d mempunyai unsur yang agak asing dalam pandangan alam dunia Melayu, iaitu kebosanan. Belum lagi saya jumpa peribahasa atau simpulan bahasa Melayu yang mempunyai kaitan atau maksud dengan bosan.\nUnsur bermain pula bukanlah unsur yang asing dalam sudut pandang dunia Melayu. Ada yang berkonotasi negatif, seperti \u201cmain kayu tiga\u201d. Ada pula yang didaktik, seperti \u201cmain air basah\u201d, \u201cmain api letur\u201d dan \u201cmain pisau luka\u201d.\nBagaimana pula dengan unsur \u201cbermain\u201d dalam dunia persajakan dan sastera?\nBeberapa minggu yang lepas, sebuah esei oleh saudara Salman Sulaiman tersiar berjudul \u201cProfesionalisme Pengkritik dan Keterbukaan Penyair\u201d di laman sesawang Jendela DBP. Tulisannya menyentuh banyak perkara tentang dunia kritikan dan penulisan.\nSecara umumnya, saya bersetuju dengan saudara Salman Sulaiman. Saya mendengarnya. Ringkasnya, faham: pengkarya perlu lurutkan sedikit helaian-helaian skeptisme-defensif mereka, cukup untuk mampu bersikap terbuka, tidak mudah terasa dan boleh mengambil beberapa langkah ke belakang untuk melihat gambaran yang lebih luas. Jika sebelum ini, dia mungkin terlalu dekat dengan karyanya ataupun dia perlu mengambil beberapa langkah ke hadapan untuk melihat gambaran yang lebih teliti jika sebelum ini dia berdiri terlalu jauh.\nSaya juga menyambut baik pandangan saudara Salman mengenai \u201cilmu kesedaran\u201d, yang saya fahamkan sebagai kepekaan seseorang pengkarya tentang keberadaan diri dan persekitarannya. Paling utama, kepekaan inilah yang perlu ada bagi memahami dinamik kuasa yang dimiliki oleh setiap individu; bagaimana \u201ckuasa\u201d atau pengaruh seseorang mampu memberikan kesan terhadap diri dan persekitarannya. Dinamik kuasa antara pengkarya dengan masyarakat umum merupakan sesuatu perkara yang pengkarya serta pengkritik perlu ambil kira apabila ingin menghasilkan atau mengkritik sesebuah karya. Isu yang melibatkan gender, mobiliti sosial, ras dan latar belakang budaya, sebagai contohnya, jika tiada kepekaan dan empati, hanya akan menganiayai subjeknya. Soal kemiskinan, antaranya, memerlukan pengkarya untuk berhati-hati agar tidak mengolahnya menjadi sesuatu yang romantik, walaupun niatnya adalah untuk mengangkat atau menggunakannya sebagai alat susastera.\nSelain keterbukaan dan kepekaan pengkarya akan keberadaan dirinya, saudara Salman turut merumuskan tajuk eseinya \u201cjuga perlu diterbalikkan\u201d, iaitu pengkritik turut perlu bersikap terbuka. Saya menerima pendapat ini dengan baik sekali. Saya juga berpendapat, pengkritik haruslah melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan yang luas, lebih-lebih lagi jika kritikan yang dihasilkan itu bersandarkan teori. Dan, jika tidak menggunakan teori sekali pun, haruslah kritikan yang dihasilkan itu secara tuntasnya meneliti segala pemboleh ubah yang hadir bersama-sama dengan karya dan pengkaryanya\u2014latar belakang dan persekitaran, sekolah pemikiran, identiti dan kedudukan politikalnya, puitikanya, malah termasuk perkara-perkara banal seperti kerja-kerja sehariannya\u2014perlu dipertimbangkan untuk membina kritikan yang mantap. Suatu penganiayaan seseorang pengkritik boleh lakukan ialah, mengkritik apa-apa yang dia tidak fahami sepenuhnya, atau lebih jahat, tidak ingin memahaminya. Keobjektifan seseorang pengkritik tidak bermaksud ketidakfahamannya melarang untuk langsung tidak memberikan sebarang hujah. Perkara yang cuba saya sampaikan ialah, sebaik-baiknya dia harus mencari setitik dua kekuatan-kekurangan. Kritikan yang berat sebelah hanyalah penyembelihan atau lebih jelik, pemujaan.\nPermainan dan bermain tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang cetek.\nDemikian, tibalah saya berpisah daripada jalan pemikiran saudara Salman. Dalam esei beliau yang sama, saudara Salman meminta para pengkarya untuk menulis \u201cbukan sekadar untuk bermain-main\u201d. Sedikit sebanyak saya merasakan penyataan ini berbaur retorikal. Mungkin, hal ini kembali pada persoalan di atas mengenai ilmu kesedaran dan keberadaan diri. Memberi faedah kesangsian kepada saudara Salman, saya memahami dari mana beliau datang. Sebagai seorang pengkarya, saya juga menitikberatkan kraf. Kolektif seniman yang merupakan sebahagian daripada diri saya, Projek Rabak, turut mengajar saya betapa pentingnya kraf dan penghasilannya; bagaimana ia mempengaruhi keberadaan pengkaryanya. Kraflah yang akan membawa pengkarya ke dalam ruang wacana dan perbincangan. Kraflah yang akan membentuk sebahagian jati diri seseorang pengkarya.\nWalau bagaimanapun, kraf bukanlah Rukun Sepuluh atau Surat Pengisytiharan yang tertulis di atas sebongkah batu. Kraf juga bukan kerja tanpa liburan semata. Bukan matlamat keabadian mahupun main-main tanpa penghujung. \u201cYang fana adalah waktu. Kita abadi\u201d tulis Allahyarham Sapardi Djoko Damono. Kraf ialah Pengkaryanya dan Pengkarya ialah Krafnya. Jadi, usahlah terlalu risaukan tentang tulisan (sajak) kita abadi atau cuma ingin bermain. Jika Pak Sapardi menyatakan \u201ckita abadi\u201d, maka begitulah untuk kraf kita.\nMenyentuh sedikit lagi tentang permainan dan bermain, hal ini mengingatkan saya pada kredo Abdul Ghafar Ibrahim dalam bukunya, Yang Yang (1986). Antara prakata terpenting yang pernah ditulis dalam persajakan Malaysia, Abdul Ghafar Ibrahim bukan sahaja membebaskan pemuisi daripada perangkap ideologi dan retorik, malah memberikan agensi pada sajak dan kraf(nya). Apabila Abdul Ghafar inginkan sajak \u201cmelontar, bersilat, berenang, berterbangan, berlari, bertepuk tampar, berdoa, beratib, berzanji, berkasidah, bernasyid\u201d, beliau telah menyatakan kebebasan sajak bukanlah kebebasan semberono, tetapi kebebasan yang tidak melemaskan sajak dan sastera; tidak membebani mereka dengan hal-hal tidak sepatutnya. Dalam erti kata lain, Abdul Ghafar membenarkan dirinya dan lanjutan dirinya, iaitu sajak dan krafnya, bermain tanpa bagasi lebihan serta kerunsingan yang tidak penting.\nBagi Abdul Ghafar\u2014bentuk, ungkapan, gerak laku, rasa fikir dan persembahan ialah permainan sajak dan dirinya. Dan, bukankah bermain itu sendiri mempunyai pelbagai cara dan makna dan pekerjaan? \u201cBahasa sajak tidak terhad kepada bahasa tulisan. Tulisan sajak boleh dipelbagaikan pengertiannya\u201d kata Abdul Ghafar. Demikian, tafsiran makna \u201ckeabadian\u201d dan \u201cpermainan\u201d juga mempunyai sesarwajagat saujana sudut pandangan, setiapnya berbeza mengikut perspektif seseorang. Maka, memberi faedah kesangsian sekali lagi kepada saudara Salman, saya mendengari maksud beliau: kerja yang melibatkan kraf adalah sesuatu pekerjaan yang serius. Tetapi, pada masa yang sama, jika diizinkan untuk menambah, usahlah kita mengambil diri kita terlampau serius.\nPermainan dan bermain tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang cetek. Bermain juga tidak semestinya untuk anak-anak yang tidak tahu apakah itu keabadian dan hanya ingin bersuka ria semata-mata. Bermain tiada had umur. Catur dan dam ialah permainan. Kejar-mengejar juga boleh menjadi satu cara bermain. Kata-kata dan Bahasa, mainan pemuisi. Dan sesudah kita habis bermain, harapnya segala kerja yang bakal dihadapi lagi, tidak akan meleburkan jiwa kita dengan kepenatan, kebosanan, ataupun kekosongan.\n_________________________\nJack Malik merupakan seorang penyajak dari Ipoh. Karyanya pernah tersiar dalam Mekong Review, Dewan Sastera, Selangorkini, dan halaman Tukang Puisi. Jack juga sebahagian daripada kolektif seniman Projek Rabak. Beliau mempunyai dua kumpulan puisi, iaitu Wannabe Sasau dan Sajakjakja(c)k. Jack juga merupakan salah seorang penerima anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 bagi kategori sajak eceran." "\u201cSuara dari Lembah Gaza\u201c Ringankan Derita Palestin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini menerusi hantaran Facebook rasminya Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia memaklumkan bahawa \u00a0DBP akan menganjurkan program \u201cBaca Puisi: Suara dari Lembah Gaza\u201c yang akan diadakan pada 25 Julai 2021, pukul 11.00 pagi yang disiarkan menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP.\nProgram yang akan dirasmikan oleh Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP ini merupakan satu daripada 10 program yang diatur oleh DBP di bawah program \u201cSuara dari Lembah Gaza\u201d atau ringkasnya SDLG yang dijadualkan akan dilaksanakan bermula pada 25 hingga 31 Julai 2021 menerusi saluran yang sama.\nSDLG merupakan program yang dirancang khas oleh DBP bagi tujuan pengumpulan dana untuk disalurkan kepada Palestin melalui tabung Musa\u2019adah Palestin melalui kerjasama strategik dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Dalam merealisasikan hasrat ini juga, DBP turut bekerjasama dengan pelbagai pihak sama ada sektor awam dan juga sektor swasta.\nProgram yang akan berlangsung sepanjang tujuh hari ini adalah seperti yang berikut:\nAyuh, sama-sama kita saksikan kehebatan para pendeklamasi dalam menyuarakan rasa isi hati atas penderitaan rakyat Palestin dan sama-sama kita menghayati wacana yang diadakan." "Bicara Pantun Merentas Zaman\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPermatang Pauh, Pulau Pinang \u2013 Bicara Pantun Merentas Zaman Bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2022 Peringkat Negeri Pulau Pinang telah berlangsung \u00a0pada hari ini di Dewan Seminar, Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang, yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang. \u00a0Para peserta program ini terdiri daripada pelajar UiTM Cawangan Pulau Pinang dan Sekolah Menengah Sains, Kepala Batas, Pulau Pinang serta tetamu undangan.\nMenerusi program ini, YBhg. Dato\u2019 Dr. Sohaimi Abdul Aziz bertindak sebagai moderator, manakala Puan Noorazah Mohamed Noah dan Puan Noraila M. Noor telah diundang sebagai panel bagi membicarakan tentang penciptaan pantun dan mengulas tentang pembelajaran pantun di sekolah serta usaha menarik minat generasi muda mencipta pantun.\nDalam program tersebut, peserta turut didedahkan dengan asal usul pantun, definisi pantun, jenis pantun, persediaan menulis pantun, asas penulisan dan komponen pantun seperti tema dan persoalan, pembayang dan maksud, rima, bilangan patah perkataan dan bilangan suku kata dalam sebaris.\nMenurut Dato\u2019 \u00a0Dr. Sohaimi Abdul Aziz, pantun merupakan puisi tradisional Melayu yang wujud sejak zaman masyarakat Melayu dahulu dan sangat tinggi nilainya serta mempunyai keterikatan antara pembayang dengan maksudnya dan diiktiraf oleh UNESCO sebagai warisan dunia yang tidak setara.\nPuan Noraila M. Noor pula menjelaskan bahawa dalam penciptaan pantun, satu baris pantun perlu mengandungi empat patah perkataan dan diikuti oleh setiap baris yang mengandungi lapan hingga 12 suku kata. Yang paling penting, rima pantun perlu berakhir dengan a,b,a,b.\nSementara itu, menurut Puan Noorazah, pantun dapat memupuk dan menanam rasa cinta dalam diri seseorang dan akhirnya akan melahirkan insan yang berakhlak. Beliau juga menyentuh kaedah menghasilkan pantun yang baik dan bermutu untuk meninggalkan kesan emosi yang tinggi. Sesebuah pantun perlu ditulis dengan perasaan dan dicipta melalui pengalaman yang dialami sendiri atau sumber inspirasi daripada bahan bacaan. Pencipta pantun perlu menggandingkan unsur alam apabila mencipta pantun.\nBual bicara program tersebut diakhiri dengan sesi soal jawab dengan beberapa soalan telah diajukan oleh para peserta. Persoalan yang diberikan oleh para peserta ini menggambarkan minat mereka untuk mendalami dunia pantun dan mempelajari bidang sastera walaupun kebanyakan peserta dalam aliran Sains, Kejuruteraan dan Pelancongan. Semua peserta turut diberi peluang mencipta pantun yang baik dalam program tersebut.\nDalam majlis tersebut, ucapan alu-aluan disampaikan oleh Encik E Pian a/l Pro Poul, Timbalan Pengarah DBPWU, yang mewakili Pengarah DBPWU dan diikuti oleh ucapan perasmian penutupan yang disempurnakan oleh YBrs. Prof. Madya. Ir. Dr. Haji Ahmad Rashidy Razali, Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang.\nProgram Bicara Pantun Merentas Zaman yang bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2022 Peringkat Negeri Pulau Pinang ini diharapkan dapat menanam sikap cinta akan warisan bangsa dan memelihara kesenian dalam kalangan generasi muda dan masyarakat serta dapat melahirkan pencipta dan pemantun yang berkualiti." "Suara dari Lembah Gaza\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Program Baca Puisi: Suara dari Lembah Gaza bersiaran melalui Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 25 Julai 2021 (Ahad), pukul 11.00 pagi. Program Baca Puisi menampilkan seramai 22 orang pendeklamasi termasuklah Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Sasterawan Negara (SN) Dato\u2019 Anwar Ridhwan, SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, Profesor Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom, Dr. Lim Swee Tin dan pendeklamasi yang lain. Program Baca Puisi diadakan sebagai tanda kesepakatan rakyat Malaysia, terutamanya para pendeklamasi, dalam usaha meringankan penderitaan rakyat Palestin. Selain itu, program ini juga diadakan untuk kutipan Tabung Musa\u2019adah Palestin oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).\nProgram dimulakan dengan ucapan perasmian oleh YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan deklamasi puisi oleh beliau yang bertajuk \u201cMendukung Perjuangan Bersama\u201d. Beliau menyatakan bahawa program seumpama ini walaupun tampak kecil tetapi tetap bermakna kerana sokongan antara kita terhadap keadilan dan kebenaran sejagat khususnya dalam konteks perjuangan di Palestin. Program dijangka dapat meningkatkan perpaduan dan rasa kebersamaan kita, walaupun kita tidak dapat berada di medan juang di sana tetapi sekurang-kurangnya kebersamaan kita dari segi perasaan, semangat dan kesediaan kita untuk memberikan bantuan dalam apa jua bentuk yang mungkin.\nAda tiga segmen pada program ini, iaitu segmen pendeklamasi A: SN Dato\u2019 Dr. Anwar Ridhwan \u2013 \u201cMelawan\u201d, Dr. Lim Swee Tin \u2013 \u201cSiapakah yang Mendengarku\u201d, Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom \u2013 \u201cPalestina\u201d, Ahmad Sukri Abdullah \u2013 \u201cKencana Lara di Bumi Palestin\u201d, Norazimah Abu Bakar \u2013 \u201cBiar Seribu Durja Menerpa Jiwa\u201d dan Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman \u2013 \u201cMonolog Buana Palestin\u201d.\n\nSegmen pendeklamasi B ialah: SN Dr. Siti Zainon Ismail \u2013 \u201cSajak Rindu Bumi Al-Anbiyaa\u2019\u201d, Amiruddin Md. Ali Hanafiah \u2013 \u201cSuara\u201d, Dr. Rosmani Omar \u2013 \u201cBunga Takafur Buat Palestin\u201d, Suwanlerd Pro Poul \u2013 \u201cSajak untuk Palestin\u201d, Fauziah Ismail \u2013 \u201cPalestina\u201d dan A. Hamid Halim \u2013 \u201cApi Zionis\u201d\nSegmen C pendeklamasi C adalah: Amaruszati Noor Rahim \u2013 \u201cTerbanglah Burung-burung Hijau Jadilah Ababil\u201d, Yeo Hock Lim (Harlym Yeo) \u2013 \u201cUsah Kita Sekadar Menangis\u201d, Ahmad Shafiee Mohd Apendai \u2013 \u201cThaurah Palestin\u201d, Haji Ismail Supandi \u2013 \u201cKepedihan Gaza\u201d, Haji Mat Nordin Mat Salleh \u2013 \u201cRintihan Palestin\u201d dan Rasdi Daud \u2013 \u201cSegenggam Tanah di Peta Peradaban\u201d.\nSelain itu, penampilan istimewa Aris Ariwatan \u2013 \u201cTetamu Senja\u201d, Siso \u2013 \u201cBalada Gadis Kecil\u201d dan Dr. Shafa\u2019atussara Silahudin \u2013 \u201cSyair Derita Palestin\u201d. Sama-sama kita membantu rakyat Palestin.\nProgram Baca Puisi ini boleh ditonton di sini." "Suara dari Lembah Gaza Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu \u2013 Program Suara dari Lembah Gaza Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (WP Labuan) berlangsung pada 26 Julai 2021, pukul 9.00 malam di studio siaran langsung media sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). \nProgram ini dirasmikan oleh YB Datuk Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif, Menteri Tugas-tugas Khas yang mewakili YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah. \nProgram ini merupakan program yang mempersembahkan bacaan puisi, syair, lagu etnik dan lagu puisi oleh 13 orang peserta yang terdiri daripada pendeklamasi dan penyanyi hebat dari Sabah dan WP Labuan bersempena dengan kutipan Tabung Kemanusiaan Palestin anjuran DBP.\u00a0\nYB Datuk Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif menyampaikan ucapan alu-aluan mewakili Ketua Menteri Sabah. Dalam ucapannya, beliau mengecam tindakan rejim Zionis yang menyerang bumi Palestin dan menyifatkan perbuatan Zionis itu sebagai jenayah perang yang tidak pernah habis.\nBeliau juga turut menyeru agar perjuangan ini perlu berterusan dan bukan hanya perjuangan yang bermusim. Selain itu, beliau mengajak rakyat Sabah bersama-sama menyumbang kepada rakyat Palestin bagi membantu dalam pembangunan insfrastruktur yang telah musnah akibat serangan rejim Zionis.\nMohd. Arifin mengakhiri ucapannya dengan mendeklamasikan puisi bertajuk \u201cGaza itu Kita\u201d karya beliau sendiri.\nSebelum itu, Puan Aminah Awang Basar yang merupakan Pengarah DBP Cawangan Sabah memberikan ucapan ringkas dan turut mendeklamasikan sebuah puisi karya Siti Zaleha M. Hashim berjudul \u201cAnak-anak Perang\u201d.\nPeserta lain yang bersama-sama mendeklamasikan puisi dalam program ini adalah seperti berikut:\nTonton program penuh ini di sini." "Baca Puisi Suara Kedamaian Peringkat Wilayah Utara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBukit Mertajam \u2013 Baca Puisi Suara Kedamaian Peringkat Wilayah Utara yang juga merupakan program ketiga di bawah SDLG, iaitu Suara dari Lembah Gaza\u00a0disiarkan pada hari ini, 27 Julai 2021 (Selasa), pukul 8.00 malam menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nProgram ini diadakan oleh DBP dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang bertujuan untuk mendapatkan sumbangan dana bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin melalui Tabung Musa\u2019adah COVID-19 JAKIM-YWM (Yayasan Waqaf Malaysia).\nTerdapat tiga segmen yang disusun dalam program ini yang membariskan pendeklamasi hebat dari zon utara yang mencakupi Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan juga Perak.\n Segmen pertama dimulai dengan deklamasi puisi oleh Che Nu Alinar Mohamed \u2013 Lembaga Pembangun Sastera (LEPAS) Perak dengan puisi bertajuk \u201cKota yang Luka\u201d, karya Mohilis.\nKemudian menampilkan pula Zaheera Ibrahim \u2013 Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP) yang mendeklamasikan puisi bertajuk \u201cPalestin Jangan Menangis Lagi\u201c karya beliau sendiri.\nPuisi seterusnya dideklamasikan oleh Mawarni Ibrahim \u2013 Angkatan Sasterawan Nasional (ASASI) Kedah dengan puisi bertajuk \u201cBadai Impian\u201d, karya Mawarni Ibrahim.\nSegmen kedua pula dimulai dengan pendeklamator, Dr. Saravanan a/l Veeramutu \u2013 Universiti Sains Malaysia (USM) yang mendeklamasikan puisi bertajuk \u201cMendepani Sang Andeka\u201d dan diikuti pula dengan deklamasi puisi oleh Kumpulan 3P \u2013 Perlis\u00a0 dengan puisi bertajuk \u201cPelangi Bahagia\u201d.\u00a0\nSegmen ketiga yang merupakan segmen terakhir, dimulai dengan deklmasi puisi oleh Dr. Boon Jong Fook yang mendeklamasikan puisinya menerusi lagu berjudul Gaza Melara.\nProgram ini diteruskan lagi dengan deklamasi puisi oleh Syahidatul Munirah Badrul Munir yang mendeklamasikan puisi bertajuk \u201cBa Ta Ada Tawa di Hujung Gaza\u201d, karya Tuah Sujana, dan puisi yang menjadi penutup program ini ialah \u201cJanji Pejuang\u201c yang dideklamasikan oleh Saiful Ghazali \u2013 MRSM Perlis, karya nukilannya sendiri.\n\nUntuk menonton keseluruhan program boleh klik\u00a0\u00a0di sini." "Pemenang Hadiah Nobel antara 13 Novel Disenarai Panjang Hadiah Booker 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLondon \u2013 Novel pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan 2017, Kazuo Ishiguro bakal bersaing dengan 12 lagi karya yang disenarai panjang dalam Hadiah Booker 2021.\nPengarang British kelahiran Jepun yang sebelum ini memenangi Hadiah Booker 1989 dengan The Remains of the Day, kali ini mempertaruhkan novel terbaharunya, Klara and the Sun.\nSelain Ishiguro, bekas pemenang Hadiah Booker yang disenaraikan ialah pengarang Amerika Syarikat, Richard Powers, dengan novelnya, Bewilderment. Powers\u00a0memenangi hadiah edisi 2018 lewat The Overstory.\nKarya kedua-dua pengarang itu bakal diadili bersama-sama dengan novel A Passage North oleh Anuk Arudpragasam; Second Place (Rachel Cusk); The Promise (Damon Galgut); The Sweetness of Water (Nathan Harris); An Island (Karen Jennings); A Town Called Solace (Mary Lawson); No One is Talking About This (Patricia Lockwood); The Fortune Men (Nadifa Mohamed); China Room (Sunjeev Sahota); Great Circle (Maggie Shipstead); dan Light Perpetual (Francis Spufford).\nPemenang bakal membawa pulang hadiah wang bernilai \u00a350,000 (RM292 000), tetapi nilai itu jauh lebih kecil daripada sorotan dan tumpuan yang bakal diberikan oleh khalayak pembaca antarabangsa, termasuk meningkatkan serta melambungkan jualan naskhah di seluruh dunia.\nBuku yang dicalonkan dalam hadiah ini bakal diadili panel juri yang diketuai oleh sejarawan Maya Jasanoff; dan dianggotai oleh pengarang dan editor, Horatia Harrod; pelakon yang terkenal dengan filem Ronin dan The Truman Show, Natascha McElhone; novelis yang pernah dua kali disenarai pendek dalam Hadiah Booker, Prof. Chigozie Obioma; serta penulis dan mantan Biskop Besar, Rowan Williams.\nJasanoff berkata, elemen yang menyatukan semua novel yang disenarai panjang itu ialah kekuatan untuk menarik pembaca menyelami kisah yang unik dengan cara penuh seni dan suara tersendiri.\n\u201cRamai dalam kalangan mereka yang mampu melihat cara manusia bergelut dengan masa lalu \u2013 sama ada melalui pengalaman peribadi yang sarat duka nestapa dan keterasingan dengan warisan sejarah kesan penghambaan, dasar aparteid dan perang saudara.\n\u201cBegitu juga ramai yang mencerakinkan hubungan keakraban yang diuji dengan tekanan sehingga dijadikan landasan untuk merenung idea kebebasan dan tanggungjawab atau apa-apa yang menjadikan kita sebagai manusia.\n\u201cTentu yang paling ketara ketika melalui pandemik ini, wajar untuk dinyatakan semua buku ini memiliki suara penting dalam mengungkapkan sifat masyarakat daripada dunia kecil dan terasing hinggalah ruang maya yang luas tanpa sempadan,\u201d katanya, seperti yang dipetik dalam kenyataan di laman web The Booker Prize.\nJasanoff menegaskan, membaca buku-buku itu ketika menjalani sekatan pergerakan menimbulkan perasaan hubungan kuat dengan karya berkenaan, sekali gus mencetuskan perasaan bersama dalam kalangan hakim.\n\u201cMeskipun kami tidak selalunya memberikan reaksi sama terhadap pilihan yang diambil oleh seseorang pengarang dalam karya itu, setiap buku yang disenaraikan ini mencetuskan perbincangan panjang buat kami, yang membawa kepada arah tuju tidak terjangka dan mencerahkan.\n\u201cKami teruja untuk berkongsi senarai yang pastinya menarik perhatian selera pembaca dan kami berharap ia akan memacu lebih banyak perbincangan selepas pembaca menyelongkar karya-karya ini,\u201d katannya.\n\nSementara itu, Pengarah Yayasan Hadiah Booker, Gaby Wood dalam kenyataan yang sama menokok pandangan bahawa senarai panjang hadiah itu beberapa tahun kebelakangan ini, menarik perhatian khalayak terhadap elemen baharu dalam novel, iaitu bereksperimen dengan bentuk, bermain dalam genre yang tidak pernah wujud dan pengarang baharu.\n\u201cSenarai tahun ini juga terserlah dengan kisah yang mengasyikkan dari sudut pandang geografi dan pengiktirafan pengarang yang berkarya dengan standard yang sangat tinggi selama bertahun-tahun.\n\u201cSebahagiannya sudah pun menerima pelbagai anugerah seperti Hadiah Nobel, Pulitzer dan lain-lain. Dua daripada mereka adalah dalam kalangan penulis baharu tetapi ramai yang sudah pun berada dalam lingkaran Booker sebelum ini.\n\u201cMelihat semuanya disatukan dan mendengar suara mereka dalam buku-buku ini bermakna kita mengetahui sastera kekal berada di pena pengarang mampan serta kreatif,\u201d katanya.\nPengarang yang dimaksudkan Wood itu sudah tentu selain Ishiguro dan Poers ialah Damon Galgut yang disenarai pendek melalui The Good Doctor pada tahun 2006 dan In a Strange Room (2010); Mary Lawson (disenarai panjang pada tahun 2006 lewat The Other Side of the Bridge); serta Sunjeev Sahota (disenarai pendek pada tahun 2015 dengan novel The Year of the Runaways).\nSenarai panjang Hadiah Booker 2021 ini akan disaring dan diumumkan sebagai senarai pendek pada bulan September ini, manakala pemenang akan dinobatkan pada 3 November depan.\nSenarai itu dipilih daripada 158 novel yang diterbitkan di United Kingdom dan Ireland antara 1 Oktober 2020 hingga 30 September 2021 tanpa mengira kewarganegaraan penulisnya, asalkan dalam bahasa Inggeris." "Puisi Kedamaian untuk Palestin Peringkat Wilayah Selatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJohor Bahru \u2013 Program Suara dari Lembah Gaza: Gema Puisi Palestin beredar ke selatan Semenanjung Malaysia. Program baca puisi yang menjelajah setiap negeri dan wilayah tanah air ini merupakan program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah disiarkan secara langsung pada 28 Julai 2021 (Rabu), pukul 10.00 pagi menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP.\n\u00a0\nTujuan program ini diadakan adalah untuk mendapatkan sumbangan dana bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin melalui Tabung Musa\u2019adah COVID-19 JAKIM-YWM (Yayasan Waqaf Malaysia).\nProgram ini membariskan pendeklamasi-pendeklamasi hebat dari zon selatan, khususnya dari Melaka dan Johor. Program dimulai dengan pendeklamasi Muhammad Shahrin Haron dengan puisinya yang bertajuk \u201cSaf Terakhir di Bumi Gaza\u201d, karya MS Haron. Kemudian menampilkan pula Sasya Zainal dengan puisinya yang berjudul \u201cBunga Popi\u201d, karya Usman Awang. Puisi seterusnya dideklamasikan oleh Rohaidah Yon dengan puisinya yang berjudul \u201cSenandika Buatmu Gaza\u201d, karya beliau sendiri.\nProgram ini diteruskan lagi dengan deklamasi puisi oleh Mohd. Ab. Malek Md. Shah dengan puisinya berjudul \u201cTerima Kasih Duhai Tetanggaku Yang Terus Membisu\u201d, karya beliau sendiri, Norliza Haji Md. Yamin dengan puisinya \u201cRejang Lelabi\u201d, karya Norliza Haji Md. Yamin, Md. Kemudian Yusof Ali dengan puisinya berjudul \u201cDi Manakah Nyali Kemanusiaan\u201d karya Ria Asmira.\nProgram diteruskan dengan deklamasi puisi oleh Md. Muzaini Said dengan puisinya berjudul \u201cApi Yang Menyala Di Hadapan Pintu Syurga\u201d karya Damarzuhra. Kemudian menampilkan pula Zetty Natamulia Elias dengan puisinya berjudul \u201cSyurgamu Palestin\u201d karya Zaty Natamulia Elias, dan puisi yang menjadi penutup program ialah daripada Haji Ab. Rani Embi dengan puisinya berjudul \u201cGandum, Sebutir Peluru, Air Mata\u201d karya A Rani Embi.\nProgram Suara dari Lembah Gaza: Gema Puisi Palestin boleh ditonton di sini." "Suara Kenyalang Bergema Demi Palestina\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Gema Kemanusiaan: Suara dari Lembah Gaza merupakan program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (Sarawak). Program disiarkan secara langsung pada 28 Julai 2021 (Rabu) pukul 9.00 malam menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP. Program ini diadakan bagi mendapatkan sumbangan dana untuk meringankan penderitaan rakyat Palestin melalui Tabung Musa\u2019adah COVID-19 JAKIM-YWM (Yayasan Waqaf Malaysia).\nAtur cara keseluruhan program merupakan gabungan persembahan deklamasi dan lagu puisi berasaskan tema Suara dari Lembah Gaza. Deklamator yang terlibat ialah Zainal Abidin Suhaili (Abizai) \u2013 \u201cPulang Berkabung\u201d, Sriwati Haji Labot \u2013 \u201cWarkah Cinta Syaima\u201d dan Khalid Husseine Tuah \u2013 \u201cKota yang Luka\u201d karya Mohilis. Awang Kelana Awang Hassan pula menyampaikan Mantera Gaza, dan Mohamad Faizal Jamil mendendangkan Syair Rakis \u201cTragis Bumi Anbia\u201c.\nKumpulan Lasykar Seni mempersembahkan dua lagu puisi, iaitu Panglima Jihad (A. Aziz Deraman) dan Janji Azali (Abdullah Azan Kadir). Sementara itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (Sarawak) mempersembahkan Pantomim dan Pidato Kemanusiaan. Pengarah DBP cawangan Sarawak, Abang Haliman Haji Abang Julai menyampaikan Monolog. Rakaman acara Gema Kemanusiaan: Suara dari Lembah Gaza ini boleh ditonton di sini." "Kritikan Politik dan Sosial Utuh dalam Karya Zurinah Hassan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sejak sekian lama, sastera diketahui sebagai mewakili zamannya. Hubungannya dengan persekitaran dan politik sangat dekat sehingga sastera di tangan pengarang yang bijak menjadi senjata terbaik untuk melontarkan kritikan.\nHal ini jelas dilihat dalam kupasan terhadap karya yang ditulis oleh Sasterawan Negara ke-13, Datuk Dr. Zurinah Hassan sepanjang Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan, \u201cDaripada Pujangga Tidak Bernama kepada Sasterawan Negara Wanita Pertama\u201d yang bersiaran secara dalam talian pada 29 Julai 2021 (Khamis).\nSeminar ini dianjurkan oleh Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pertama kali diadakan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom, sekali gus membenarkan acara ini dicapai oleh semua ahli masyarakat pelbagai latar dan bidang, berbanding dengan seminar sebelum ini yang agak sukar diakses oleh masyarakat umum.\nSeminar yang mendapat sambutan baik daripada khalayak umum itu dimulai dengan ucaptama oleh Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang membentangkan \u201cZurinah Hassan di Lebuh Raya Perubahan: Penyair Yang Baik dan Terbuka, Jujur Lagi Kontemporer\u201d.\nSeterusnya, Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Che Abdullah Che Ya antara yang mengupas mengenai karya Zurinah menerusi kertas kerja \u201cSastera Sebagai Wadah Penulis Melahirkan Suara Hati terhadap Kepincangan Masyarakat: Analisis Kumpulan Cerpen Murka Lautan\u201d.\nTegas Che Abdullah, sastera tidak berfungsi sebagai hiburan, pendidikan dan kritikan sosial semata-mata, sebaliknya mengandungi sensitiviti, emosi, wawasan dan harapan seseorang pengarang.\nKatanya, karya sastera menjadi wadah seseorang pengarang melaksanakan misi dan visi mereka seperti yang terpancar dalam kumpulan cerpen Murka Lautan.\n\u201cHubungan antara sastera dengan politik menunjukkan, penghasilan sesebuah karya sastera sangat dipengaruhi oleh perkembangan politik sesebuah negara.\n\u201cKumpulan cerpen Murka Lautan mengkritik mengenai kepincangan politik, seperti yang boleh dilihat dalam cerpen \u2018Cerita Berangkai Hulu Negeri\u2019, manakala cerpen \u2018Kaduk, Ayam dan Raja\u2019, \u2018Menara Impian\u2019 dan \u2018Murka Lautan\u2019 sendiri mengangkat persoalan politik secara tidak langsung.\n\u201cAntara kepincangan politik yang digarapkan oleh pengarang termasuklah perpecahan dalam masyarakat Melayu akibat perbezaan parti, keruntuhan moral pemimpin, dan juga keburukan sistem feudal,\u201d katanya.\nDalam cerpen \u201cKaduk, Ayam dan Raja\u201d dan \u201cKerongsang Berlian Wan Tempawan\u201d, Zurinah keras menegur sikap dan kecuaian orang Melayu apabila tanah-tanah hak milik orang Melayu terlepas ke tangan bangsa asing.\nTindakan ini menyebabkan generasi muda Melayu akan hilang hak terhadap tanah simpanan Melayu sendiri, seperti yang diangkat dalam \u201cKerongsang Berlian Wan Tempawan\u201d.\n\u201cGolongan bangsawan ini ditegur kerana mereka mendapat tanah dengan mudah, tetapi tidak menjaganya dengan baik, manakala dalam cerpen \u2018Kaduk, Ayam dan Raja\u2019 pula, pengarang mengkritik sikap golongan yang berkuasa mengambil tanah rakyat biasa sesuka hati,\u201d katanya.\nNaskhah yang terbit pada tahun 2016 itu turut mengkritik mengenai kepincangan sosial apabila Zurinah turut menyentuh tentang kehidupan serba mewah dan pendidikan tinggi tidak bererti sekiranya nilai moral dan agama tidak dijadikan landasan kehidupan.\nKesinambungan daripada seminar berkenaan, satu forum khas yang membincangkan karya Zurinah turut diadakan pada sesi petang setelah pembentangan semua kertas kerja. Forum Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera DBP, menampilkan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) 2010, Zaen Kasturi dan dua penyair wanita, Raihani Mohd. Saaid dan Ainunl Muaiyanah Sulaiman.\nDalam forum yang dikendalikan oleh Hafiz Latiff itu, Zaen Kasturi berkata, Zurinah melalui jalan yang panjang sebagai seorang pengarang. Bermula sejak tahun 1960-an, Zurinah disifatkan sebagai seorang pengarang yang meninggalkan tanda dalam ranah sastera kebangsaan hingga akhirnya dinobat sebagai Sasterawan Negara.\n\u201cZurinah bermula dengan karya yang banyak dipengaruhi oleh feminisme kerana persekitarannya ketika itu. Tetapi pada satu tahap, beliau merasakan isu yang lebih besar adalah tentang negaranya, dan ketika itulah karyanya tampil dengan kritikan yang lebih keras. Dalam hal ini, saya tidak fikir faktor gender itu adalah pengaruh utama karyanya,\u201d katanya.\nSementara itu, Ainunl berkata, walaupun ramai yang melihat karya beliau menyentuh mengenai feminisme tetapi perkara yang lebih utama ialah karya penulisannya banyak berkaitan dengan pilihan. Jika semua karya beliau dibaca dengan teliti, ternyata Zurinah bercakap mengenai pilihan.\n\u201cZurinah juga dipengaruhi oleh kisah rakyat, menjadikan karyanya daripada kisah pujangga tidak bernama menjadi miliknya,\u201d katanya.\nBagi Raihani yang juga anak sulung Zurinah menyifatkan, kesukaran capaian kemudahan untuk menjadi penulis tidak mematahkan semangat ibunya itu untuk terus berkarya. Malah, faktor itulah yang menjadi penguat semangat untuk beliau terus menulis.\n\u201cBeliau selalu menyebut, semua penulis bersaing untuk memajukan diri dan mendapat tempat,\u201d katanya.\nSeminar ini telah menghimpunkan lebih 18 pembentangan kertas kerja. Majlis yang bermula jam 9.00 pagi tadi telah dirasmikan oleh Pengerusi BERNAMA, YB Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi. Beliau turut melancarkan buku kumpulan sajak terbaharu Zurinah Hassan terbitan DBP, Menunggu Pesawat. Selepas pelancaran, Zurinah Hassan membacakan sajak \u201cLurah Bilut\u201d daripada Menunggu Pesawat dan \u201cSyair Tak Tercapai Akal Insani\u201d daripada kumpulan puisi Cerita dalam Cerita.\n\nDapatkan kertas kerja seminar ini di sini. Anda juga boleh tonton forum seminar di sini. Beli kumpulan cerpen Murka Lautan di sini dan kumpulan sajak Menunggu Pesawat di sini. Sempena seminar ini, Dewan Sastera juga turut mengangkat Zurinah Hassan sebagai Karyawan Bulan Ini untuk edisi bulan Julai 2021 dan boleh dibaca di sini." "Bias Gender Punca Cabaran Wanita dalam Cerpen Zurinah Hassan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Menjadi seorang wanita berkerjaya sememangnya mencabar kerana perlu menyeimbangkan antara peranan di tempat kerja dengan keluarga. Apatah lagi bagi pengarang wanita yang memikul banyak komitmen, mereka perlu membahagikan masa, fokus dan tenaga supaya proses penghasilan karya kreatif dapat diteruskan. Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan menzahirkan perjuangan wanita mengimbangi kerjaya dan rumah tangga dalam cerpen-cerpennya yang diadun dengan fakta dan fiksyen.\nDr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid, pensyarah dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia, mengetengahkan cabaran wanita ini dalam kertas kerja yang bertajuk \u201cLelah Wanita Mengurus Kerjaya dan Rumah Tangga: Meneliti Cerpen-cerpen Terpilih Zurinah Hassan\u201d dalam majlis seminar Sasterawan Negara ke-13 Datuk Dr. Zurinah Hassan. Seminar anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka ini telah menghimpunkan lebih 21 buah kertas kerja, dengan 18 daripadanya dibentangkan.\nCerpen-cerpen yang dipilih merupakan cerpen daripada kumpulan Meneruskan Perjalanan (1987), Menjelang Pemilihan (2004) dan Murka Lautan (2016).\nNazreen menganalisis cerpen-cerpen Zurinah menggunakan kerangka konseptual keseimbangan kerjaya dan kehidupan bagi membincangkan cabaran-cabaran wanita mengurus kerjaya dan rumah tangga.\nEmpat cabaran yang diketengahkan termasuk (1) tekanan tanggungjawab keluarga dan kerjaya, (2) pengurusan masa tidak berkesan, (3) tiada sokongan daripada keluarga, dan (4) kesaksamaan gender dalam sektor pekerjaan. Cabaran-cabaran ini wujud akibat persepsi bias gender yang dibentuk dari awal, menyebabkan peranan wanita dikecilkan, tidak dipandang tinggi, peranan dibeza-bezakan, malah masih dituntut untuk menguruskan hal rumah tangga walaupun berkerjaya, seperti ungkapan \u201csehebat-hebat wanita akhirnya ke dapur juga\u201d.\nMisalnya, cerpen \u201cCatatan di Meja Makan\u201d, \u201cSeperti Ibu\u201d dan \u201cTangisan Peragut menampilkan cabaran tiada sokongan daripada ahli keluarga yang membuatkan si wanita terperuk, diperleceh, dipandang tidak intelektual, dan tidak dibantu lantas mereka tidak dapat mengembangkan potensi akibat persepsi bias gender.\nCabaran kesaksamaan gender dalam sektor pekerjaan pula hadir dalam cerpen \u201cKelahiran\u201d, \u201cPerjalanan Sendiri\u201d dan \u201cAnita\u201d yang menonjolkan sisi pekerja wanita, majikan dan rakan sekerja. Dalam cerpen ini, kompetensi dan kepimpinan wanita dipersoalkan. Hal mengandung dijadikan isu dan diskriminasi gender dalam pekerjaan.\nMenurut Nazreen, gender secara umumnya merujuk satu konsep budaya yang digunakan untuk membezakan peranan, mentaliti, tingkah laku dan juga emosi antara lelaki dengan perempuan yang berkembang dalam masyarakat.\n\u201cStereotaip yang dilemparkan kepada wanita adalah apabila mereka cuba bersuara sedikit, mereka akan dikatakan sebagai meroyan, seperti yang berlaku terhadap pemain tenis Amerika Syarikat, Serena Williams ketika mencabar keputusan pengadil. Tindakan sama yang dilakukan oleh John McEnrou pula diterima, malah dia diangkat sebagai seorang jaguh yang tegas,\u201d katanya.\nSambungnya lagi, filem Barat banyak memaparkan stereotaip wanita yang klise, contohnya seperti bos wanita yang garang di tempat kerja. Cerpen-cerpen Zurinah yang membawa tema perjuangan wanita mengimbangi kerjaya dan keluarga ialah \u201cCatatan di Meja Makan\u201d, \u201cPerjalanan Sendiri\u201d, \u201cTibanya Musim Gugur\u201d, \u201cSiti Hawa dan Pengembara yang Singgah\u201d, \u201cAnita\u201d, Seperti Ibu\u201d, \u201cTangisan Peragut\u201d dan \u201cKelahiran\u201d. Kesemua cerpen ini mewakili transisi wanita daripada status bujang kepada berkahwin ketika mendepani cabaran untuk mengekalkan kerjaya dan kepengarangan dalam kesibukan aktiviti harian.\nMenerusi kajian terhadap cerpen-cerpen Zurinah ini, Nazreen menyimpulkan bahawa secara realitinya, wanita kontemporari masih sukar untuk mencapai keseimbangan kerjaya dan kehidupan kekeluargaan.\nPembentangan ini dipersembahkan dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan dengan tema \u201cDaripada Pujangga Tidak Bernama kepada Sasterawan Negara Wanita Pertama\u201d pada 29 Julai bermula jam 9.00 pagi melalui platform Zoom. Kertas kerja penuh pemakalah boleh dibaca di sini. Beli kumpulan cerpen Meneruskan Perjalanan, Menjelang Pemilihan dan Murka Lautan." "Fitrah Bonda Zurinah Hassan Pembentuk Citra Insan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan disifatkan sebagai seorang pengarang dan penyair yang tidak dapat dipisahkan daripada jiwa dan fitrah seorang bonda yang ada dalam dirinya.\nKenyataan menarik daripada Panel Anugerah Sastera Negara (2016) ketika menobatkan Zurinah Hassan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara menjelaskan, beliau seorang yang cenderung kepada \u201cpernyataan sfera diri wanita dan sfera kekeluargaan\u201d.\nDr. Shamsudin Othman, penyair dan pensyarah kanan dari Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia, ketika membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk \u201cKecenderungan Fitrah Bonda dalam Kumpulan Puisi Menunggu Pesawat\u201d di Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan, membuat satu pernyataan jelas bahawa hubungan antara Zurinah Hassan dengan fitrahnya sebagai seorang bonda ialah hubungan yang menjelaskan personaliti, pembentukan keperibadian dan rupa susuk karya sastera Sasterawan Negara ke-13 ini.\nShamsudin merupakan satu daripada 18 orang pembentang yang membentangkan hasil kajian dalam seminar itu yang berlangsung pada 29 Julai 2021 (Khamis), jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nBerkenaan istilah utama yang berlegar dalam kertas kerja beliau, Shamsudin memilih untuk menggunakan isitlah \u201cbonda\u201d, bukan ibu atau emak, kerana sedar dan cakna dengan konotasi maksud diksinya yang mendalam.\n\u201cMelalui Kamus Dewan Perdana, falsafah Melayu meletakkan istilah ibu atau emak boleh juga dirujuk dalam \u2018ibu ayam\u2019 atau \u2018ibu tumpang\u2019, antara istilah yang membawa konotasi yang negatif. Bonda terlindung daripada konotasi itu,\u201d jelas Shamsudin.\nDalam Menunggu Pesawat, kehadiran unsur fitrah bonda dalam puisi-puisi Zurinah dihidangkan secara semula jadi dan halus. Fitrah bonda yang diketengahkan dalam tulisan beliau terhasil daripada naluri emansipasi seorang bonda.\nShamsudin menegaskan, \u201cKita sedia maklum bahawa naluri seorang bonda sangat dekat dengan tindak-tanduk yang memberikan penekanan pada unsur nasihat dan didikan untuk berbuat kebaikan.\u201d\nPengarang tidak selalunya memberikan nasihat dalam bentuk langsung kepada anak, tetapi dibuat dengan unsur tersirat yang dihasilkan melalui penenungan. Hal ini dilihat mampu membuat pembaca sedar secara langsung atau sebaliknya. Inilah sebenarnya cara nasihat yang berkesan pada pemikiran seseorang pembaca.\n\u201cZurinah Hassan selama era kepenyairannya memilih pendekatan fitrah bonda dalam sfera kekeluargaan bagi menyampaikan pengucapan puisinya,\u201d tambah Shamsudin.\nShamsudin mengambil tokoh kesusasteraan Arab dan pemikiran Islam, Syed Qutb sebagai titik perbandingan Zurinah dalam fitrah penulisannya.\nSyed Qutb meletakkan bonda (ibu) sebagai satu unsur penting dalam sistem pendidikan, mendidik dan membimbing manusia untuk mencapai tahap yang tertinggi dalam kehidupan. Bonda juga mengumpul nasihat dan unsur pengalaman untuk disampaikan kepada individu tertentu demi membentuk peribadi insan yang baik, selaras dengan tuntutan agama, budaya dan sosial.\n\u201cZurinah menyuntik pemikiran ini ke dalam puisi-puisinya dengan sangat berhati-hati,\u201d ujar Shamsudin.\nNasihat disisipkan secara tersirat dalam puisi \u201cSuatu Malam Seorang Tetamu Datang\u201d dan \u201cLurah Bilut\u201d, yang masih dalam ruang sfera kekeluargaan tentang abang dan adik perihal harta pusaka.\nDi samping memperlihatkan nasihat tentang kepentingan memahami hukum-hakam mewarisi pusaka keluarga dan menjaga amanah, juga diketengahkan oleh pengarang secara bayang-bayang tentang persoalan: bagaimana sekiranya hal ini dilakukan oleh seorang pemimpin negara?\nZurinah memilih diksi yang tepat dan menyusun bait dengan lembut bagi menyampaikan nasihat. Puisi beliau berperanan sebagai alat untuk membentuk manusia dan masyarakat yang lebih sedar dan berpijak di atas bumi.\n\u201cSebagai seorang bonda yang sayangkan kebahagiaan dan kedamaian, maka sangat wajarlah beliau mengingatkan anak-anak supaya berpegang teguh pada prinsip kemenjadian seorang pemimpin, sama ada ia dirujuk sebagai abang ataupun ketua,\u201d jelas Shamsudin.\nSeminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan dengan tema \u201cDaripada Pujangga Tidak Bernama kepada Sasterawan Negara Wanita Pertama\u201d diadakan sebagai ruang untuk pengkaji-pengkaji sastera dan para akademik mengembangkan pengetahuan dan elemen kajian terhadap karya-karya Sasterawan Negara. Seminar ini merupakan seminar kali yang ke-13 dilaksanakan oleh DBP.\nTerpaksa dilangsungkan semasa era pandemik global, seminar yang dianjurkan secara dalam talian ini telah mengumpulkan para jemputan, sasterawan, pembentang, penggiat sastera dan orang awam sebagai peserta melalui aplikasi Zoom. Baca kertas kerja Dr. Shamsudin Othman di sini." "Kesombongan Kian Membesar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBerulang dukalara\nberulang korban dan seksa\nsetiap kita kepiluan, ayah bonda dalam ratapan.\nAnak-anak yang tidak berdaya\nbersama pemuda tubuh luka\nmenerpa ke rasa, hiba.\nAkarnya celaka hati\nsejak berabad tiada simpati,\nsimpati itu tak pernah singgah\nyang ada hanya sombong megah\ndalam rencana pemusnah\ndurjana yang tidak berubah.\nNamun lihatlah keberanian\ndari jauh terpapar kepahlawanan\npemberani Palestin dengan sejuta geram\ntanpa gusar,\nmenentang kesombongan yang kian membesar.\nPertentangan menerpa ke mata\nyang tertindas, terseksa dan luka\ndan yang berani memaparkan perkasa,\nmeyakini kemenangan umat mulia." "Simposium Muzik Ipoh 2022: Pop 60-an Bincang Pelbagai Perspektif\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\n\nIpoh \u2013 Program Simposium Muzik Ipoh 2022 merupakan program simposium muzik tahunan sejak empat tahun lalu anjuran Kampung Karyawan Amanjaya atau lebih dikenali sebagai People of Remarkable Talents (PORT). Program kali keempat ini telah diadakan pada 21-23 Oktober 2022 dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dan pelbagai agensi dan badan lain, termasuklah\u00a0Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Selain simposium sebagai aktiviti utama, program ini turut diisi dengan forum, bengkel, pameran dan konsert khas yang dijayakan oleh para seniman ternama.\nProgram Simposium Muzik Ipoh 2022 menampilkan 23 orang pembentang yang terdiri daripada ahli akademik, pengkaji budaya dan penggiat seni. Program tersebut disempurnakan perasmiannya oleh YB Dato\u2019 Haji Zainol Fadzi Paharudin, Ahli Lembaga Pengarah PORT dan ucaptama oleh Dato\u2019 Dr. Johari Sallleh, tokoh seniman bidang muzik yang tidak asing lagi di negara ini. Program ini turut dihadiri oleh Puan Nur Hanim Dato\u2019 Khairuddin, Pengurus Besar PORT dan Encik Rahimi Arifin, Pengarah DBPWU,\u00a0serta ahli akademik dan penggiat industri muzik tanah air.\nPada hari pertama program, berlangsungnya Bengkel Penulisan Lirik Lagu, Bengkel Gitar Elektrik, Bengkel Dram, sesi perkongsian \u201cDari Analog ke Digital (Pembikinan Kulit Album)\u201d, forum \u201cPengarkib Muzik Bebas dan Sejarah Muzik Alternatif\u201d. Sementara itu, pada hari kedua pula berlangsungnya\u00a0Simposium Sesi 1: Identiti Lokal. Manakala Simposium Sesi 2 pula\u00a0membincangkan isu Kreativiti dan Eksplorasi dan Simposium Sesi 3 membicarakan isu Legasi dan Impak.\n\u201cKugiran memiliki ciri gaya asas yang melibatkan penggunaan lirik lagu yang ringkas dan mudah. Muzik kugiran turut memperlihatkan corak irama, pukulan dram dan cara permainan gitar bass yang ringkas,\u201d ujar Dr. Shafa\u2019atussara, Pensyarah Jabatan Kesenian, Universiti Malaya. Beliau juga menyentuh secara ringkas tentang latar belakang muzik Pop Yeh Yeh yang menjadi fenomena di Malaysia pada tahun 1960-an.\nArt Fazil dalam pembentangannya pula mengatakan\u00a0bahawa\u00a0Pop Yeh Yeh merupakan Pop Muzik Melayu yang terkenal dari tahun 1965 hingga tahun 1971. Menurut beliau, sewaktu industri perfileman semakin pudar, zaman keemasan Pop Melayu telah mengambil alih dengan berakhirnya era penguasaan P. Ramlee. Sambungnya lagi, letupan Pop berlaku sewaktu berakhirnya penggabungan Singapura\u2013Malaysia pada tahun 1965.\u00a0Terdapat beberapa teori tentang asal usul Pop Yeh Yeh, antaranya termasuklah Cliff Richard dan The Shadows yang telah memukau penonton di Stadium Happy World pada tahun 1961.\nSelain itu, pameran Pop 1960-an turut diadakan yang bermula 10.00 pagi hingga 6.00 petang yang mempamerkan motosikal Vespa, motor klasik dan muzik tahun 1960-an. Pada hari terakhir pula, berlangsung juga Simposium Sesi 4: Fesyen dan Gaya Hidup, Simposium Sesi 5: Filem dan Forum \u201cPop 1960-an: Emulasi dan Revolusi\u201d dengan jayanya.\nKemuncak bagi\u00a0Simposium Muzik Ipoh 2022: Pop 60-an ialah Konsert Malam Pesta 60-an di Auditorium RTM,\u00a0Perak pada 22 Oktober 2022, pukul 9.00 malam yang turut menampilkan artis-artis dari Singapura dan Indonesia, selain artis tahun 1960-an dari Malaysia sendiri. Yang turut mencemar duli berangkat ke konsert yang bersejarah ini ialah DYAM Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris Iskandar al-Mutawakkil Alallahi Shah.\nMenurut Puan Nur Hanim Dato\u2019 Khairuddin pula, muzik, budaya, fesyen dan persekitaran tahun 1960-an perlu diambil tahu oleh generasi pada hari ini kerana bukan sekadar keseronokan semata-mata, malah lebih daripada itu. Oleh sebab itu, tujuan simposium ini diadakan adalah untuk membincangkan tentang pengaruh, kesan dan pelbagai sudut lain untuk dijadikan rujukan generasi akan datang kerana idea yang dibincangkan dari pelbagai perspektif dan dimensi para ilmuwan.\nTambahnya lagi, simposium merupakan platform yang memberikan\u00a0peluang kepada pelbagai peringkat generasi daripada\u00a0yang paling senior, pertengahan dan golongan muda untuk duduk bersama dan\u00a0berbincang.\u00a0Kertas-kertas kerja yang dibincangkan ini pula akan dibukukan supaya menjadi bahan rujukan para pengkaji dan pelbagai pihak yang berminat." "Gema Suara Timur buat Palestin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu\u00a0\u2013 Program Suara dari Lembah Gaza: Gema Suara Timur buat Palestin \u00a0berlangsung pada 30 Julai 2021 (Jumaat) pada pukul 3.00 petang di studio siaran langsung media sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Program kemanusiaan ini yang dirasmikan oleh En. Zainal Abidin Muhamad, Naib Presiden Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan sebagai wakil kepada YB Mejar Dato\u2019 Haji Md. Anizam Ab. Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan.\nProgram amal ini dianjurkan untuk menggalakkan kita untuk menderma dan dapat menelusuri kisah rakyat Palestin. Kita juga dapat menghayati pengorbanan dan perjuangan serta menyumbang (derma) bagi menampung beban dan kesengsaraan hidup masyarakat Palestin yang terkesan daripada peperangan dan bedilan yang berpanjangan daripada Israel.\nEn. Zainal Abidin Muhamad, dalam ucapan alu-aluannya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada pihak DBP serta Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan kerana menganjurkan program seumpama ini. Beliau menyeru agar semua orang dapat menyumbang kepada rakyat Palestin melalui Tabung Musa\u2019adah COVID-19 JAKIM-YWM (Yayasan Waqaf Malaysia).\nDalam Segmen A, tetamu jemputan khas yang menyampaikan puisi ialah Encik Muhamad Rasani Ramli, Setiausaha, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) (\u201cMelawan\u201d, karya SN Anwar Ridhwan), Dato\u2019 Hj. A. Aziz Deraman, Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) (\u201cTeringat akan Palestin\u201d), En. Mohd Azam Juhari, Pengarah DBP Wilayah Timur (\u201cDia Menjadi Seorang Gadis yang Berparut\u201d karya Abdul Razak Husin) dan Rosli K. Matari, Sasterawan Negeri Kelantan Darul Naim 2020 (\u201cWahai Bumi\u201d).\nManakala dalam Segmen B, wakil daripada NGO yang mengambil bahagian ialah Hj Azman Mohd Daham Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK), \u00a0(lagu puisi \u201cBalada Seorang Gadis Kecil\u201d), Abdul Hadi Yusoff, Persatuan Penulis Kelantan (PPK) \u2013 Juara Negeri dan Penyair Kebangsaan (\u201cDi Sebalik Hidangan Makanan\u201d), Bani A. Zaini, Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) (\u201cTanah Milik Kami\u2019) dan\u00a0 Ramlee Hamzah (Abe Lee 337), Pengerusi, Persatuan Penggiat Seni Lukis Kelantan (PELUKIS) yang mengadakan persembahan demonstrasi melukis karya Palestin menggunakan cat minyak atas kanvas.\n\u00a0\nSegmen C menampilkan 4 wakil NGO iaitu, Dr. Abham TR, Ketua Satu, Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA) (\u201cTiba-tiba\u201d), Anuar Musa, Ketua Satu, Persatuan Budayawan dan Penulis Kelantan (PESISIR) (\u201cKe Manakah Lagi\u201d karya Rosli K. Matari), Abdul Razak Rezeki Othman, Puisi Tradisional/ Persatuan Penulis Kelantan (PPK) (\u201cSyair Janji Allah untuk Gaza\u201d) dan Wee Sock Yam (Sujata Wee), Wakil Persatuan Peranakan Cina Kelantan (\u201cMengintai dari Jendela Keinsafan\u201d).\n\nDalam Segmen D, iaitu segmen terakhir, menampilkan tiga pemenang Sayembara Deklamasi Puisi \u201cPalestin: Kami Bersamamu\u201d dan Juara Negeri Penyair Kebangsaan. Ainun Nasibah Johar, Tempat Ketiga (\u201cBumi Gaza Kembali Berdarah\u201d karya Abdul Razak Husin), Akilul Nazar Arbain, Tempat Kedua (\u201cPalestin: Bumi Bersimbah Darah\u201d karya Rozaimi Abdullah), Atikapuspha Sarkawi Ramli, Johan (\u201cPalestin: Bumi Bersimbah Darah\u201d karya Rozaini Abdullah) dan Mohd Shareezad Satad (\u201cSuara dari Bumi Gaza\u201d) dan penampilan istimewa daripada Hj. Ezani Hj. Daud, Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (lagu puisi, Suara Anak, lirik dan lagu Nasir Hasan).\nTonton Gema Suara Timur buat Palestin di sini." "Dentuman Suara Pantai Timur untuk Lembah Gaza\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu\u00a0\u2013\u00a0Program Suara dari Lembah Gaza: Gema Suara Timur buat Palestin Siri 2 yang berlangsung pada 30 Julai 2021, pukul 9.00 malam di studio siaran langsung media sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Program deklamasi puisi Palestin ini merupakan siri kedua daripada program Gema Suara Timur buat Palestin pertama yang diadakan pada sesi 3.00 petang. Program kemanusiaan dimulakan dengan ucapan pembukaan yang disampaikan oleh Encik Muhammad Muhairi Jasmani.\nProgram amal ini diadakan bertujuan untuk menelusuri kisah dan perjuangan serta mengutip derma untuk rakyat Palestin melalui Tabung Musa\u2019adah COVID-19 JAKIM-YWM (Yayasan Waqaf Malaysia). Kita juga dapat menghayati pengorbanan dan perjuangan serta menyumbang (derma) bagi menampung beban dan kesengsaraan hidup masyarakat Palestin yang terkesan akibat peperangan dan bedilan yang berpanjangan daripada Israel.\nDalam Segmen A, tetamu jemputan khas yang menyampaikan puisi ialah Dato\u2019 Rosol Wahid, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna \u2013 \u201cMalang Nasibmu Palestin\u201d, Maroof Seman, penyair kebangsaan \u2013 \u201cSeperti Mencatat Pesan di Gaza\u201d, Othman Zaharuddin Harun, aktivis seni \u2013 \u201cSejadah Berdarah\u201d, Tuan Afiq Rifqi Tuan Mohd Mawardi \u2013\u201cTangisan Palestin\u201d, Md. Arif Haikal Zakaria \u2013 \u201cDoa untuk Palestin\u201d dan Wan Azimah Wan Mohamad \u2013 \u201cBuatmu Gaza\u201d.\n\nManakala dalam Segmen B, Encik Azmi Ngah yang merupakan pengarah muzium Terengganu menyampaikan puisi bertajuk \u201cWarkah Luka Dari Ramallah\u201d, Zaril Ali \u2013 \u201cCahaya yang Hilang\u201d, Arina Abd Rahman \u2013 \u201cKamu Bukan Wira\u201d, Nur Liyana Azman \u2013 \u201cSenyuman yang Sinar\u201d, Wan Norfatiha Wan Ghafar \u2013 \u201cSengsara Penduduk Gaza\u201d, dan Nurul Aini Abdullah \u2013\u201cUntukmu\u201d.\nSegmen C menampilkan enam wakil, iaitu, Uzair Daud \u2013 \u201cPerjuangan\u201d, Sri Nariah Mohamad \u2013 \u201cSetitik Darah Tumpah\u201d, Dr. Mohd Fadzil Baharudin \u2013 \u201cGaza Milik Kita\u201d, Muhammad Fazril Syah Abdullah \u2013 \u201cRintihan Palestin\u201d, Muhammad Nazruk Iman Yong \u2013 \u201cTangisan Bumi Gaza\u201d dan Nur Mastura Zukifli \u2013 \u201cKemenangan Doa\u201d .\nDalam Segmen D ialah segmen terakhir yang menampilkan enam lagi penyair, iaitu bekas Senator, Ismaaon Muhammad \u2013 \u201cIndahnya Malaysiaku\u201d, Tengku Anizan \u2013 \u201cNyanyian dari Negeri Berdarah\u201d, Nurul Atikah Mohd Saupi \u2013 \u201cLinangan Air Mata Gaza\u201d, Muhammad Afif Mazlan \u2013 \u201cUntukmu Palestin\u201d, Ros Dayini Mustafar Kamar \u2013 \u201cDarah Putih\u201d, dan Md. Afiq Rosli \u2013 \u201cPengabdi Cinta\u201d.\nTonton Gema Suara Timur buat Palestin Siri 2 di sini." "Malam Kemuncak \u201cSuara dari Lembah Gaza\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Malam kemuncak \u201cSuara dari Lembah Gaza\u201d (SDLG) diadakan pada\u00a0 31 Julai 2021 (Sabtu), pukul 9.00 malam menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Program ini dirasmikan oleh YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan Malaysia mewakili YAB Tan Sri Dato\u2019 Haji Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia.\nProgram dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan. Katanya, program SDLG merupakan paduan antara DBP dengan JAKIM serta acara kemuncak dalam siri Program SDLG untuk mendukung perjuangan rakyat Palestin. Sebelum ini DBP telah mengadakan enam acara pengucapan puisi iaitu DBP Cawangan Sabah dan DBP Cawangan Sarawak, DBP Wilayah Utara, DBP Wilayah Tengah, DBP Wilayah Selatan, dan DBP Wilayah Timur.\nSebagai tanda sokongan kepada perjuangan Palestin dan bersempena dengan acara baca puisi ini, kita melancarkan Tabung Musa\u2019adah COVID-19 JAKIM-YWM (Yayasan Waqaf Malaysia) untuk membuka peluang kepada para penderma untuk menghulurkan infak bagi menambah sumbangan kepada pejuang-pejuang di Palestin. Sumbangan ini amat kecil berbanding dengan perjuangan saudara kita di Palestin. Namun tetap besar ertinya kepada kebersamaan kita dalam mendukung dan menyokong perjuangan dalam menegakkan keadilan hak dan kesaksamaan kita sejagat.\nProgram ini diteruskan oleh ucapan YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan Malaysia mewakili YAB Tan Sri Dato\u2019 Haji Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia dan seterusnya merasmikan acara malam kemuncak SDLG. YAB Tan Sri Dato\u2019 Haji Muhyiddin menyatakan rakaman penghargaan kepada institusi bahasa dan persuratan yang memperlihatkan kesungguhan, keprihatinan, dan soladiriti dalam menggembleng usaha mengangkat kemanusiaan sejagat. Begitu juga tahniah kepada JAKIM yang berganding bahu sebagai rakan kerjasama strategik dalam menjayakan majlis pada malam ini. Penganjuran SDLG membuktikan tanda sokongan berterusan terhadap usaha kerajaan Malaysia yang aktif memberikan sokongan kepada rakyat Palestin, baik secara moral atau material.\nAcara deklamasi dimulai oleh YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) \u2013 \u201cSenandika untuk Gaza\u201d, YB Dato\u2019 Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) \u2013 \u201cSemerbak Hijau Kasturi\u201d, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola, DBP \u2013 \u201cUsah Kita Sekadar Menangis\u201d, YBhg. Dato\u2019 Dr. Mohd Nizar Haji Sudin, Pengerusi Eksekutif Yayasan Pelajaran MARA \u2013 \u201cGundah Palestin\u201d, YBhg. Sahibus Samahah Prof. Madya Dato\u2019 Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, Mufti Perlis \u2013 \u201cSuara dari Lembah Gaza\u201d.\nKemudiannya diikuti oleh YBhg. Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, Sasterawan Negara \u2013 \u201cDarah Gaza\u201d, dan Persembahan Khas Ustaz Mohd Erfino Johari \u2013 \u201cTanah Airku (Palestin) dan Aku Tidak Melupakanmu\u201d.\nAcara diteruskan dengan deklamasi oleh Ustaz Datu Mohd Sallehin Moksan, Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah \u2013 \u201cMendukung Perjuangan Bersama\u201d, Encik Wan Syahrul Amry Wan Mansor, ASTRO Radio/Zayan \u2013 \u201cKita Sama tapi Kita Jauh\u201d, Encik Mohd Nadzri Mustakim, Unit Perkhidmatan Sosial Masjid Negara \u2013 \u201cMana Mungkin\u201d, Encik Jefri Mohamed Zain, PETRONAS \u2013 \u201cGaza, Bumi yang Dijanjikan\u201d, Ustaz Khairul Haffiz Halim, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan \u2013 \u201cKesombongan Kian Membesar\u201d, Encik Muhammad Solihin Baharuddin, KUISCELL Sdn. Bhd. \u2013 \u201cThaurah Palestin\u201d, Datin Seri Haryani Haron \u2013 \u201cMendukung Perjuangan Bersama\u201d dan yang terakhir Encik Ahmad Fedtri Yahaya, Personaliti TV \u2013 \u201cLembah Terluka\u201d.\nPersembahan Penutup oleh Dato\u2019 Seri Siti Nurhaliza binti Tarudin dengan dendangan Lagu Mikraj Cinta.\nOrang ramai boleh turut menyumbang melalui: Tabung Musa\u2019adah Covid 19 JAKIM YWM (Yayasan Waqaf Malaysia) 86-0221818-6 (Bank CIMB Islamic).\nTonton acara kemuncak ini di sini." "Bagaimanakah Puisi Kanak-kanak Sepatutnya Dibaca?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRidzuan Kamis melihat pentingnya membaca puisi kanak-kanak pada taraf kefahamannya yang sesuai dengan khalayaknya.\nSebagai penulis dewasa yang menulis puisi dewasa (umum), tidak seharusnya membaca puisi kanak-kanak dari kaca mata dewasa kerana puisi kanak-kanak sememangnya bersifat sedemikian rupa, yakni polos, selapis makna, berentak dan kontot.\nPuisi kanak-kanak berkemungkinan karya yang dihasilkan sama ada oleh kanak-kanak sendiri atau digarap oleh penulis dewasa untuk bacaan kanak-kanak. Puisi kanak-kanak paling acap ditulis ialah sajak selain pantun, gurindam dan syair. Pada asasnya, puisi kanak-kanak sememangnya menggunakan bahasa biasa yang mewakili aras komunikatif paling rendah dan mudah untuk difahami. Biasanya, tema dan persoalan puisi kanak-kanak merujuk hal diri sendiri, persekitaran terdekat dan perihal umum, seperti kebersihan, keselamatan, kesihatan, kasih sayang, alam sekitar, kisah binatang, kemanusiaan dan ketuhanan.\nMaka tidak hairanlah, puisi kanak-kanak dibaitkan dalam lapisan makna yang polos, bersahaja, bahasa mudah, selain mempunyai permainan rima bunyi aliterasi atau asonansi yang berentak. Kendatipun, sajak yang dihasilkan bersifat polos dan selapis, namun setiap karya yang diketengahkan sesungguhnya mempunyai elemen pendidikan, berpengajaran, berpedoman, dan adanya nilai-nilai murni yang diterapkan secara dominan.\nKarya kreatif sastera biasanya dikategorikan kepada tiga, yakni karya dewasa (umum), remaja dan kanak-kanak. Maka, sudah pastilah ketiga-tiga kategori ini mempunyai aras komunikatif berbeza dan gaya penyampaian yang tersendiri. Di negara kita, karya yang cenderung ke arah keremajaan dan kanak-kanak disifatkan amat kurang dan terhad daripada karya kreatif sastera berbentuk dewasa. Buku-buku atau karya eceran sastera lebih dimonopoli oleh karya umum. Situasi ini memungkinkan seseorang pembaca kurang didedahkan dengan karya kanak-kanak.\nPenerbitan buku puisi kanak-kanak sebetulnya boleh dibilang dengan jari kerana kurangnya minat penulis untuk menghasilkan karya sasaran kanak-kanak berbanding dengan buku cerita kanak-kanak yang sememangnya berlambak diterbitkan. Selain itu, tidak banyak penerbit yang berminat untuk menerbitkan buku berkonsepkan puisi kanak-kanak selain tiadanya ruang dalam majalah atau akhbar untuk ruangan karya kanak-kanak.\nBuku Puisi Kanak-kanak\nMenurut dapatan data daripada artikel penulis Mohd Helmi Ahmad, pada tahun 2017 dan 2018, hanya terdapat enam buah judul buku puisi kanak-kanak perseorangan di pasaran, iaitu Kenangan Ayah (DBP) karya Zainal Abdul Kadir, Terbanglah Layang-layang (DBP) garapan Mahaya Mohd. Yassin, Buku (ITBM) juga tulisan Mahaya, Pelangi (DBP) karya Ridzuan Kamis, Menjadi Bintang (OyezBooks) hasil Mazni Md. Ramly, dan Anak Itik Tuk Wi (ITBM) karya Allahyarham Azmi Yusoff. Terdapat juga beberapa antologi puisi kanak-kanak yang ditulis oleh beberapa orang penulis dan diterbitkan, iaitu antologi syair kanak-kanak\u00a0Untung Menabung (DBP) garapan Hamidi Mohd Yudin, Abma Dinera dan CT Nurza serta antologi puisi kanak-kanak\u00a0Demi Sebuah Kejayaan (UUM Press) tulisan Hamidi Mohd Yudin, Nazim Mohd Subari, Noor Azihan Sulaiman, Nordin Saad, dan Ridzuan Kamis. Namun begitu, pada tahun 2019 dan 2020, masih belum kedapatan buku puisi kanak-kanak diterbitkan. Yang ada cuma terbitan dalam bentuk zine, iaitu Demi Cita-cita Murni selenggaraan Hamidi Md Yudin dan Idolaku tulisan Nazim Mohd Subari terbitan Mari Menulis Sastera Kanak-kanak (MMSK).\nOleh sebab gaya penyampaian puisi kanak-kanak yang selapis dan polos selain mudah untuk difahami, kedapatan sesetengah pembaca (penulis) yang menyifatkan kanak-kanak tidak harus didedahkan dengan puisi \u201csuapan\u201d dengan makna \u201clurus bendul\u201d atau \u201cberterus terang\u201d. Boleh dikatakan hampir kesemua puisi kanak-kanak dalam kumpulan sasaran lima hingga 12 tahun ialah puisi berunsur didaktik, yakni kaedah atau pendekatan ilmiah dalam gaya pembelajaran untuk memberikan maklumat sehala. Mungkin benar pandangan lain bahawa kanak-kanak harus menghadam puisi yang lebih berat dan berlapis makna.\nPersoalannya, adakah kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun mampu menterjemahkan makna seperti pembaca dewasa? Kanak-kanak seawal lima tahun misalnya mestilah akan membaca karya dalam lingkungan minatnya, seperti puisi tentang haiwan, imaginasi dan sebagainya, yang diselitkan juga gambar atau ilustrasi untuk menarik minat mereka. Untuk memiliki audiens kanak-kanak yang meminati sastera juga merupakan satu cabaran dan persoalan kerana kanak-kanak tidak meminati sastera bergenre puisi berbanding dengan prosa penceritaan. Berapa sangatkah kanak-kanak yang membeli buku puisi kanak-kanak berbanding dengan buku cerita kanak-kanak?\nBersifat Didaktik\nDiperturunkan sebuah puisi kanak-kanak sebagai contoh berjudul \u201cLayang-layang\u201d. Bahasanya mudah, yakni penceritaan didaktik dan selari tentang layang-layang. Walaupun polos, terdapat elemen positif dalam jiwa kanak-kanak untuk menyukai permainan tradisional layang-layang pada zaman mutakhir ini. Terdapat juga nilai-nilai abstrak yang berada dalam konteks pemikiran kanak-kanak yang wajar dimaknakan secara tersurat dan tersirat.\nLayang-layang\nGembiranya bermain layang-layang\ndi tengah padang\npada waktu petang\nmengisi masa terluang\nhati ceria dan riang.\nLayang-layang terbang tinggi\ndiikat kejat pada tali\ndipegang untuk mengemudi\nagar tidak terlepas pergi\njika hilang sukar dicari.\u00a0\nMemang benar, kanak-kanak seharusnya didedahkan dengan puisi kanak-kanak yang beraras tinggi agar kemahiran berfikir mereka lebih luas dan di luar kotak. Namun, mampukah mereka berfikir ke arah tersebut jika puisi polos pun mereka tidak berminat untuk menelaah, bahkan ada yang sukar memahami makna perkataan walaupun ditulis semudah mungkin. Contohnya puisi perihal binatang, alam sekitar, kesihatan dan keselamatan diri. Berdasarkan pemerhatian, puisi-puisi yang berkategori kanak-kanak digarap dengan tujuan memudahkan pemahaman kanak-kanak selain memenuhi piawai penulisan puisi kanak-kanak secara berskop dan berhemah. Di samping itu, penulisan puisi kanak-kanak lebih menjurus kepada bacaan mekanis yang terkawal dan berfokus, selain berciri positif dan terpimpin.\nSebagai penulis dewasa yang menulis puisi dewasa (umum), tidak seharusnya membaca puisi kanak-kanak dari kaca mata dewasa kerana puisi kanak-kanak sememangnya bersifat sedemikian rupa, yakni polos, selapis makna, berentak dan kontot. Ada puisi kanak-kanak yang dibaca dan dilagukan secara didik hibur mengikut standard pengajaran dan pemudahcaraan di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah. Pembaca dewasa harus menerima hakikat bahawa puisi kanak-kanak beraras rendah bertujuan untuk mendidik dan menyalurkan pengajaran tertentu. Kesilapan terbesar penulis karya dewasa ialah menghukum puisi kanak-kanak sebagai karya sampah, karya lewah bersifat lisan, atau tidak mengikut standard penulisan puisi.\nApa salahnya letakkan diri sebagai pembaca kanak-kanak dan bukannya sebagai pembaca dewasa. Masukkan diri ke dalam dunia kanak-kanak agar sesuatu mesej dapat ditanggapi dan difahami secara bertumpu dan bercapah. Tidak harus dinafikan bahawa dalam diri orang dewasa pun sebenarnya ada dunia kanak-kanak atau perangai kanak-kanak. Maka, tidak salah seseorang pembaca atau penulis dewasa meletakkan diri sebagai kanak-kanak tatkala menelaah puisi kanak-kanak.\nSebagai konklusinya, puisi kanak-kanak wajar dibaca dari kaca mata kanak-kanak dan bukannya dibaca dari konteks dewasa atau umum yang biasanya mempunyai aras komunikatif yang tinggi. Kekontotan dan kepolosan puisi kanak-kanak yang dihasilkan sebenarnya mampu mengajak kanak-kanak untuk meminati sastera dan mencintai bahasa sebelum seseorang kanak-kanak terus meminati sastera pada aras yang tersendiri, mengikut perkembangan umur dan takah pemikiran mereka.\n_________________________\nRidzuan Kamis dilahirkan di Kampung Repoh, Kangar, Perlis Indera. Beliau banyak menulis sajak, cerpen, gurindam, pantun, syair, haiku, rencana umum, dan makalah sastera yang diterbitkan dalam pelbagai media arus perdana, termasuk Dewan Sastera, Dewan Bahasa, Pelita Bahasa, Dewan Masyarakat, Tunas Cipta, Dewan Siswa, Dewan Budaya, Jendela Utara, Mingguan Malaysia, Utusan Malaysia, dan Berita Harian. Antara karyanya yang dibukukan ialah kumpulan puisi Mendambakan Damai (2014), Apologia (2017), kumpulan puisi kanak-kanak Kerdipan Kejora (2016) dan Pelangi (2018). Ridzuan kini berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPNPs) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)." "Cabaran dan Harapan Memasyarakatkan Sastera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTimbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaysia Sabah dan kolumnis e-majalah Dewan Sastera, Dr. Ramzah atau mesra dipanggil Rem Dambul berganding sebagai panel utama bersama Presiden PENA dan pensyarah Universiti Malaya, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam wacana \u201cSastera Hanya untuk Orang Sastera: Sudah Tidak Relevan?\u201d.\nWacana PENA ke-3 ini dikendalikan oleh Mohd Khair Ngadiron dan bersiaran pada 9.00 malam 30 Julai 2021, di Facebook Pena dan YouTube TV Pena.\nDalam persoalan \u201cDi manakah sebenarnya nilai sastera?\u201d yang diutarakan oleh Khair, Ramzah menegaskan, sastera berperanan penting dalam kehidupan manusia.\n\u201cPertamanya, sastera ini memainkan peran sebagai kegiatan terapi jiwa dan rekreasi minda. Kedua, sastera ialah satu bentuk persuratan utama untuk membawa gagasan kepada masyarakat, dan merupakan bahan penting untuk merubah satu-satu masyarakat itu sendiri,\u201d ujar beliau.\nDalam persoalan elitisnya sastera, Saleeh berpendapat, sastera Malaysia tidak bersifat elitis. Umumnya, karya sastera menyediakan isi dan unsur yang berbeza. Ada yang memerlukan pembaca untuk memahami konteks, dan ada juga yang boleh dibaca secara pasif.\n\u201cMemang sebahagian karya sastera kita memerlukan pemahaman dan daya berfikir yang menuntut, contohnya karya falsafah, teori teologi dan sebagainya,\u201d jelas Saleeh.\nRamzah membalas, kita tidak boleh mengkastakan sastera. \u201cKasta hanya memisahkan. Hakikat dunia sastera kini wujud polemik yang berpendirian sastera indie lawan sastera popular, sastera rendah lawan sastera tinggi.\u201d\nBaginya, sastera harus mudah diserap oleh masyarakat, mudah difahami oleh orang awam serta dekat dengan hati manusia. Beliau malah menyifatkan karya sastera yang berlambak tapi tidak cuba untuk didekati oleh masyarakat merupakan usaha kesusasteraan yang gagal.\n\u201cKomuniti sastera perlu memainkan peranan. Saya malah ingin meletakkan teori yang antara sebab kita gagal memasyarakatkan sastera lantaran komuniti sastera kita sendiri.\n\u201cSastera ini luas, terdiri daripada pelbagai tiang aspek yang berbeza, antaranya aspek undang-undang, aspek sains, aspek falsafah dan aspek sejarah.\n\u201cApa usaha kita untuk menjayakan dunia sastera yang dibina untuk merangkai dengan bidang lain?\u201d soalnya. Ramzah turut menyuarakan kekhuatiran yang sastera tempatan agak tertutup kerana komuniti sasteranya tidak memasyarakatkan sastera.\n\u201cKadang-kadang kita sendiri menyanggah usaha untuk memasyarakatkan sastera dengan mengadakan wacana atau forum besar tapi gagal mengumpulkan peserta mahupun pembicara yang terdiri daripada orang di luar bidang sastera,\u201d tambah Ramzah.\nAcara sastera yang membicarakan isu politik, ekonomi, pendidikan, urus tadbir kementerian dan agensi, memerlukan kalangan warga yang ahli dalam bidang yang disebutkan untuk bersama-sama turun berbicara.\n\u201cItulah mengapa orang awam kadang-kadang kata kita buat program syok sendiri,\u201d ujar Ramzah.\nNamun pandangan tersebut dibangkang oleh Saleeh, \u201cSebenarnya orang sastera juga berjuang habis-habisan ke arah itu, tapi setahap mana orang yang berkuasa menurut Ramzah itu mengambil endah?\u201d\nBaginya, penjanaan ekonomi, kemajuan materi dan pembangunan fizikal bukanlah terletak dalam aspek kesusasteraan. Pada akhir keputusan pun, mereka yang memegang polisi akan ada kecenderungannya. Saleeh memberikan gambaran, jika pemegang dan pembuat polisi sendiri tertutup daripada mempedulikan dunia kesusasteraan, bagaimanalah mereka akan melihat kepentingan sastera?\n\u201cSedangkan pemikiraan pembinaan negara, pembentukan sahsiah, peribadi, malah pembinaan nasionalisme juga sebenarnya adalah daripada pemikiran sastera,\u201d tegas Saleeh.\nUsaha untuk mengubah persepsi masyarakat, selain daya minat orang awam, penting untuk komuniti sastera dan pembuat polisi bergerak sama. Kunci untuk membaiki isu ini tidak lain tidak bukan, harus bermula daripada peringkat sekolah.\n\u201cNegara kita mengasingkan pelajar sekolah kepada dua kategori pemikiran, 60 peratus daripadanya aliran sains, 40 peratus daripadanya baru aliran sastera,\u201d ujar Saleeh.\nSastera tidak boleh dilihat dalam satu komponen khusus, seperti aliran sains. Aliran sastera berkembang melebar ke dalam semua aliran ilmu yang lain. Sastera wujud dalam aliran sains, aliran agama dan aliran perdagangan, kerana untuk membentuk masyarakat, mereka perlu ada budaya dan pemikiran.\n\u201cPenggiat-penggiat sastera juga perlu tahu, untuk memasyarakatkan sastera di tanah air, masyarakat di Malaysia ini bagaimana?\u201d Saleeh membuka pandangan.\nPara pelajar di Malaysia sendiri terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama. Penggiat sastera perlu berasa bertanggungjawab untuk menulis tanpa diskriminasi.\n\u201cKalau (penulisan karya) terlalu bersifat kemelayuan, terlalu fokus pada Islamik, manakan pelajar kita yang jelas bukan dalam satu kelompok agama dan bangsa akan berasa mesra? Penting untuk sastera di medan ranah perdana anak murid kita sebuah sastera yang dimiliki oleh semua masyarakat pelbagai lapisan agama dan bangsa,\u201d tegas Saleeh.\nSaleeh menyambung, \u201cSaya juga tak menafikan perjuangan orang Melayu, tapi inilah halangan besar untuk kita memasyarakatkan sastera juga. Saya percaya kalau kita berusaha ke arah ini, kita dapat membentuk masyarakat yang berfikiran sastera, kerana para pelajarlah yang akan membesar nanti membuat polisi negara.\u201c\nProgram bicara ini boleh ditonton di sini." "Menghayati Sastera Idaman Shahnon Ahmad\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAdam Taufiq Suharto selesai membaca buku Sastera: Pengalaman, Ilmu, Imaginasi dan Kitarannya karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad dan menemui beberapa persoalan dan perbincangan yang memerlukan perhatian.\nSebahagian hal lain yang menarik apabila Shahnon membongkar tentang \u2018penyakit-penyakit\u2019 dalam sastera tanah air (merujuk tahun 1990-an atau masihkah hal ini releven?) yang memandulkan perkembangan susastera.\nInilah buku bukan fiksyen kedua karangan Sasterawan Negara (SN) Allahyarham Shahnon Ahmad yang dibaca selepas Gubahan Novel. Gubahan Novel lebih berfokus pada hal estetika dalam hal menggubah atau menghasilkan sesebuah novel atau karya, manakala buku ini pula walaupun masih ada saranan untuk menjadi penulis, bentuknya merupakan himpunan esei yang rencam serta menonjolkan idealisme Shahnon Ahmad terhadap sastera, kemanusiaan dan Islam, atau ingin saya meminjam kata-kata Salleh Ben Joned, yakni \u201csastera idaman\u201d. Dalam kes buku ini, kita sedang dibentangkan oleh Shahnon Ahmad tentang \u201csastera idaman\u201dnya.\nDisebabkan himpunan esei dalam buku ini rencam, maka saya mungkin menyentuh beberapa bahagian yang berbekas, antaranya Shahnon membentangkan semacam manual atau jalan untuk menjadi penulis yang baik, dengan tidak semata-mata mengharapkan pengalaman, tetapi pentingnya untuk menyepadukan pengalaman dengan ilmu dan imaginasi bagi tujuan berkarya. Buat Shahnon, untuk menjadi penulis, pengalaman sahaja tidak cukup tanpa ilmu, juga pengalaman dan ilmu sahaja pun tidak cukup tanpa imaginasi. Menurutnya, perlu ada kesepaduan antara ketiga-tiga hal ini dalam penghasilan naskah.\nSebahagian hal lain yang menarik apabila Shahnon membongkar tentang \u201cpenyakit-penyakit\u201d dalam sastera tanah air (merujuk tahun 1990-an atau masihkah hal ini releven?) yang memandulkan perkembangan susastera. Antaranya, \u201cpenyakit\u201d suka berpersatuan jika dalam konteks luar naskhah. Ghairah berpersatuan ini akhirnya merengsakan ghairah terhadap naskhah sastera itu sendiri. Saya kira kritikan ini relevan kepada semua lapangan dan tidak terbatas kepada sastera sahaja. Sementara itu, dalam konteks kandungan naskhah pula, Shahnon menegaskan masalah utama sastera tanah air ialah lambakan idea dalam satu-satu naskhah yang akhirnya menghasilkan sebuah karya didaktik atau \u201cberkhutbah\u201d sehingga melupakan kraf dan estetika. Hal ini menjadi bualan dan persoalan sehingga detik ini. Menariknya, seingat saya, SN A. Samad Said dalam salah sebuah novelnya, Langit Petang (jika saya tak silap) ada menyebut yang Shahnon sendiri terlalu mengetengahkan intelektualnya, berbanding dengan estetika dalam teks-teks karangannya. Apa-apa pun, hal itu sekadar pandangannya, saya sendiri pun kurang bersetuju.\nSelain hal-hal ajaran penulisan, dalam beberapa bahagian, Shahnon menolak keras pascamodenisme, baik secara falsafah mahupun secara estetika. Beliau menggunakan istillah \u201cjungkir balik\u201d untuk merujuk kekacauan dan ketidakjelasan terhadap karya-karya yang bersifat pasmodenisme. Antara sebab utama penolakan Shahnon terhadap pascamodenisme ialah, menurutnya, wujud pascamodenisme menolak \u201ckebenaran hakiki\u201d, termasuk Tuhan dan agama.\nSaya tidak mahu menyentuh hal kepercayaan itu, tetapi penolakan Shahnon ini seakan-akan berkontradik dengan luahan dan rengekannya terhadap karya sastera tanah air yang belum keluar atau masih terperangkap dengan tatapenulisan hikayat, atau disebutnya sebagai traveller\u2019s tale (pada era itu), yang bermonotoni dan tidak berkembang. Kontradiknya adalah apabila beliau mengkritik keras karya-karya tempatan yang cuba mengambil pendekatan pascamodenisme. Menurutnya, karya-karya ini \u201ctidak jelas kemanusiaannya\u201d, hilang idealisme, dan seperti \u201cmanusia-manusia yang kecewa \u2013 yang tidak pernah mimpikan idealisme selain keluhan dan gundah gulana.\u201d Persoalannya, bukankah sikap atau pandangan ini juga akan menjadi dinding penyekat perkembangan sastera tanah air?\nWalau bagaimanapun, Shahnon Ahmad tidak menafikan bahawa pengaruh pascamodenisme ini telah memberikan sumbangan besar kepada sastera dunia dengan teori kritikan sastera yang tumbuh terus. Beliau tetap tegas menekankan, penulis tanah air harus ada \u201ckeperibadian sendiri\u201d, yang membezakannya dengan penulis Barat atau di luarnya. Sayangnya, menurut saya, \u201ckeperibadian sendiri\u201d ini masih (atau telah?) menjadi misteri dengan hadirnya badai globalisasi.\nApa-apa pun, sebalik kerencaman himpunan esei dalam buku ini, yang tekal sekali ialah suaranya tentang sastera atau seni Islam. Seawal bab pendahuluan lagi, Shahnon telah memetik kata-kata Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas tentang ilmu, yakni \u201cKetibaan sesuatu makna hasil daripada maklumat yang benar ke dalam diri seseorang.\u201d Berpaut dengan petikan al-Attas itu, Shahnon tekankan kewajipan untuk memperoleh ilmu yang datang daripada \u201ckebenaran hakiki\u201d. Petikan itu diikuti dengan hujah panjangnya tentang Islamisasi seni dan Islamisasi Sastera yang akhirnya membawa beliau kepada kenyataan: \u201cHanya saya rasakan kita sebagai sasterawan perlu kembali kepada tahap mengunakan pengalaman, ilmu dan imaginasi yang autentik yang diperoleh daripada sumber yang hakiki\u201d.\nMembaca buku ini sehingga tamat memahamkan saya betapa di alam fikir seorang Shahnon Ahmad memang wujud \u201csastera idaman\u201d yang menurutnya harus terkandung 3K, iaitu kebenaran, kebaikan dan keindahan (yang saya syak diilhamkan daripada falsafah seni Buya Hamka bahawa seni harus ada keindahan, kesempurnaan dan kemuliaan), atau dalam erti kata lain, Seni dan Sastera Islam. Semoga buku ini dapat dibaca oleh lebih ramai orang.\nAl-Fatihah, Cikgu Shahnon Ahmad.\nBeli buku Sastera: Pengalaman, Ilmu, Imaginasi dan Kitarannya di sini.\n_________________________\nAdam Taufiq Suharto merupakan penulis dan pengkarya bebas. Selain pernah bertugas sebagai penulis skrip untuk stesen televisyen tempatan, beliau juga aktif membikin filem pendek, juga menulis esei dan cerpen." "Semboyan Puisi di Ambang Hari Merdeka\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dengan beberapa minggu lagi, Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaannya yang ke-64. Sempena meraikan hari keramat negara ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) menganjurkan program Persembahan Puisi Artistik Wajah Merdeka pada pagi 4 Ogos 2021 (Rabu). Program ini menyaksikan 14 figura seni berpengaruh tanah air dalam pelbagai latar dan bidang, mendeklamasikan dan membacakan puisi bertema kemerdekaan.\nProgram ini juga bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan 2021 peringkat Pertubuhan Bukan Kerajaan, dilangsungkan menerusi Studio Siaran Langsung DBP dan platform maya JendelaDBP.\nSegmen pertama persembahan menyaksikan Dato\u2019 Profesor Emeritus Hashim Yaakob mendeklamasikan puisi \u201cMerdekakah Kita\u201d, Dr. Sheila RS dengan puisi \u201cWarna Merdeka\u201d, Raihani Mohd. Saaid dengan \u201cJanji Si Muda Lela\u201d, Razali Mohd. Yusof membaca \u201cWarna Sejarah\u201d, Abot dengan lagu puisinya, Dalam Kesopanan Kita, dan persembahan duet, Dato\u2019 Rahman Shaari bersama-sama dengan Intan Marhayu mendeklamasikan \u201cMakna Merdeka Makna Kita\u201d.\nAcara dilanjutkan lagi dengan pembacaan puisi pada segmen kedua, bermula dengan puisi \u201cTanah Ini Semenanjung Emas\u201d oleh Syahidatul Munirah, disusuli susuk penyair negara Zaen Kasturi dengan puisi \u201cSamudera Kata\u201d, Wacana Minda dengan \u201cDi Negeri Sana, Puisi Diami Rumah Sunyi\u201d, Farah Wahidah Abd. Aziz membaca \u201cHarga Sejarah\u201d, Datin Barupawati Utamaju membawakan \u201cSetelah Diberi Kebebasan\u201d, dan diakhiri dengan persembahan nostalgia oleh seniman Ahmad Ramli, mengiramakan lagu puisi Berundur Tidak.\nPerasmian acara dan kata-kata aluan disampaikan oleh Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, Dr. Abang Patdeli Abang Muhi.\n\u201cBersempena Dekad Bahasa Kebangsaan, diharapkan usaha yang dianjurkan bersama PENYAIR dan DBP akan mendapat sambutan mesra dan semakin meluas ke pelosok negara, malah, semoga perlaksanaan program dalam talian ini akan memudahkan masyarakat untuk menghayati dan menikmati persembahan puisi artisitik ini.\u201d\nPersembahan penuh boleh ditonton di sini." "Industri Buku Kanada Tunjukkan Pemulihan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKanada \u2013 Berita peningkatan jualan buku tidak kira di mana-mana negara sekalipun, memberikan khabar baik kepada industri buku termasuk di negara ini.\nJusteru, peningkatan jualan buku bercetak sepanjang enam bulan pertama tahun ini di Kanada secara signifikan, iaitu sebanyak 1.5 juta naskhah dengan nilai CAD$47 juta (RM158 juta) tahun-ke-tahun (year-over-year) memberikan harapan baik kepada khalayak perbukuan tanah air.\nWalau bagaimanapun, jualan ini belum mengatasi jualan buku bercetak sebelum pandemik COVID-19, iaitu tahun 2019 yang sudah tentu dapat difahami, tetapi peningkatannya berbanding dengan tahun global dilanda pandemik boleh memberikan sedikit nafas lega.\nDalam tempoh enam bulan pertama, jualan buku pada tahun 2019 mencatatkan 23.5 juta naskhah dengan hasil jualan sebanyak CAD$479.8 juta (RM1.6 bilion) tetapi jatuh kepada 20.9 juta naskhah atau CAD$416.9 juta (RM1.4 bilion) pada tahun permulaan pandemik mengganas di seluruh dunia.\nNamun begitu, jualan itu kembali meningkat pada tahun ini apabila mencatatkan 22.5 juta naskhah dengan jualan merekodkan CAD$463.8 juta (RM1.56 bilion).\nBerdasarkan trend jualan separuh pertama tahun ini, Noah Genner dari Booknet Canada menyimpulkan, kategori kanak-kanak/remaja atau young adult (YA) terus mendominasi apabila merekodkan 42 peratus daripada jualan buku bercetak keseluruhannya dalam pasaran buku berbahasa Inggeris di Kanada, berbanding 41 peratus tahun sebelumnya.\nBuku bukan fiksyen pula mencatatkan 30 peratus pada tahun ini yang turun sebanyak dua peratus berbanding pada tahun 2020, manakala kategori fiksyen merekodkan 27 peratus, iaitu naik satu peratus.\nSubjek atau genre dengan peningkatan tertinggi tahun-ke-tahun ialah komik dan novel grafik yang meningkat 92 peratus dengan kategori manga mencatat peningkatan paling signifikan, iaitu 145 peratus; puisi (81 peratus); psikologi (84 peratus); serta YA dan fantasi (129 peratus).\nMenggunakan data diambil daripada data metadata bibliografi yang dibekalkan oleh penerbit Kanada kepada BNC BiblioShare, Genner dapat melihat rancangan penerbitan industri dan bagaimana ia terjejas dengan pandemik.\nMelalui analisis penerbitan itu, Genner mendapati penurunan jumlah judul baharu yang masuk ke pasaran, sekali gus meneruskan trend yang dicetuskan oleh pandemik selepas menggegarkan dunia.\nSikap hati-hati yang diambil oleh penerbit di Kanada diteruskan pada tahun ini, sekali gus menunjukkan impak COVID-19 akan terus memberikan kesan kepada ranah perbukuan di negara itu.\nDalam konteks pelanggan atau pembaca pula, Genner melihat kepada dapatan daripada Kaji Selidik Pengguna Buku Kanada membabitkan 2500 rakyat berbahasa Inggeris yang diadakan setiap suku tahun oleh BookNet Canada, sekali gus memetakan tabiat pembelian buku masyarakat di negara terbabit sekitar bulan Mei hingga Julai lalu.\nGenner mencatatkan perubahan signifikan berlaku dalam tabiat pembelian buku bermula pada tahun 2020 apabila pengguna beralih kepada pembelian buku dalam talian. Perubahan ini boleh difahami berdasarkan langkah berhati-hati yang diambil oleh masyarakat, seperti juga disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk melakukan penjarakan sosial atau fizikal, selain pelaksanaan perintah berkurung atau kawalan pergerakan di kebanyakan negara tidak terkecuali Malaysia.\nGenner menegaskan dengan perintah berkurung mula dilaksanakan bermula musim bunga pada tahun lalu, pembaca mula mengubah tabiat pembelian dengan memperolehnya secara dalam talian.\nNamun, dengan perintah berkurung mula dilonggarkan dan ditamatkan, peruncit mula membuka kedai untuk jualan buku, sekali gus memperlihatkan peningkatan jualan pembelian.\nSementara itu, jualan buku paling laris di Kanada untuk kategori fiksyen direkodkan: The Rose Code karya Kate Quinn; Dog Man: Mothering Heights karya Dav Pilkey (kanak-kanak/remaja); Atomic Habits karya James Clear (bukan fiksyen), dan The Push karya Ashley Audrain (karya tempatan).\nKhabar baik industri buku Kanada itu diharapkan turut diraih di negara lain termasuk Malaysia, meskipun agak sukar untuk mengetahui secara terperinci pasaran buku tanah air disebabkan oleh ketiadaan data ekoran keengganan penerbit buku tempatan berkongsi data." "Citra Wanita Silam dalam Transformasi Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSarjana dan pengkritik sastera Norhayati Ab. Rahman menemui kesegaran transformasi dan modifikasi dalam novel baharu Amelia Hashim.\nWatak perempuan pada masa silam dihadirkan dengan peranan tertentu, termasuk mendedahkan perasaannya, mempunyai suara, kemahuan, wawasan, cinta dan kebijaksanaannya.\nNovel atau kumpulan cerita Hikayat Perempuan ialah terbitan terbaharu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP, 2021) yang terdiri daripada 15 bab dengan ketebalan 183 halaman. Novel ini memaparkan citra perempuan dalam hikayat-hikayat Melayu, seperti yang dicerminkan melalui judulnya. Novel ini dijana daripada gambaran watak perempuan-perempuan silam yang diperihalkan dalam cerita-cerita hikayat, seperti Hikayat Raja-raja Pasai, Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, Sulalatus Salatin, Hikayat Patani, Babad Tanah Jawi, Tuhfat al-Nafis, Hikayat Banjar, dan Hikayat Hang Tuah.\nSecara umumnya, novel ini memaparkan kisah suka duka kehidupan perempuan pada zaman silam yang dipaparkan menerusi cerita-cerita hikayat. Penampilan watak perempuan dalam cerita-cerita hikayat lazimnya tidak disorot pada reaksi, emosi atau tindak balasnya sebagai manusia, kerana mereka ditampilkan hanya sebagai pelengkap pada cerita-cerita lelaki. Namun melalui novel Hikayat Perempuan, pengarang Amelia Hashim membuat transformasi dan modifikasi ke atas watak-watak perempuan dengan penampilan baharu dalam teks baharu. Watak perempuan dihadirkan dengan peranan tertentu, termasuk mendedahkan perasaannya, mempunyai suara, kemahuan, wawasan, cinta dan kebijaksanaannya. Pendek kata, perempuan digambarkan sebagai manusia biasa yang mempunyai kekuatan dan kelemahannya yang tersendiri.\nNovel ini menyampaikan serangkaian mesej yang boleh dijadikan pengajaran kepada khalayak masyarakat dalam menjalani kehidupan pada hari ini. Melalui cerita pertama, Tun Takiah Dara misalnya, memberikan pengajaran tentang keinginan dan kesungguhan perempuan mempertahankan maruah diri daripada dijarah oleh bapanya sendiri. Tun Takiah Dara sanggup meredah bahaya melarikan diri dari istana untuk meminta bantuan abangnya, iaitu Tun Beraim Bapa. Kisah Tun Takiah Dara juga menampilkan ketegasan perempuan yang sanggup memilih kematian daripada menyerahkan diri untuk kepuasan nafsu lelaki, iaitu ayahnya sendiri. Melalui cerita Cik Ratnamala pula, menekankan aspek kesetiaan, dedikasi dan empati seorang isteri terhadap seorang suami, di samping menekankan aspek keberanian perempuan, Tunku Sofia, untuk menentukan pilihan jodohnya sendiri. Bab cerita \u201cRaden Galuh Gemerencang\u201d juga adalah antara contoh perempuan silam yang berusaha mempertahankan hak untuk memilih jodohnya sendiri dan menolak semua lamaran yang diterima oleh ayahanda bondanya.\nMelalui cerita \u201cTun Manda\u201d pula, pengarang memberikan peringatan tentang kesan atau implikasi buruk daripada gurauan yang dianggap sebagai suatu \u201cjanji\u201d. Gara-gara gurauan ayahnya semasa beliau masih anak kecil, Tun Manda terpaksa berkahwin dengan lelaki tua yang tidak disukainya. Cerita \u201cRaja Ijau\u201d pula memperlihatkan kegigihan dan ketabahan puteri dari Pattani yang dilantik sebagai Raja Perempuan Negeri Pattani. Naratif ini memaparkan kebijaksanaan raja perempuan dalam melaksanakan tugas sebagai pemerintah, sekali gus tentang kecekapannya mengatur kehidupan keluarganya. Cerita ini membuktikan bahawa perempuan juga boleh menjadi seorang pemerintah yang baik, iaitu dengan memanfaatkan kecekapan dan kebijaksanaannya untuk mendepani pelbagai masalah dalaman negeri dan masalah keluarga. Melalui cerita \u201cBok Martayuda\u201d, memperlihatkan kesan buruk kerana mengikut nafsu, boleh merosakkan diri sendiri, sementelah apabila dilakukan oleh seorang perempuan. Sepatutnya pihak lelaki yang melakukan kesalahan sama (turut dikatakan sebagai bersalah) tidak wajar terlepas begitu saja. Hal ini bermaksud, apabila melakukan kesalahan dalam hubungan antara perempuan dengan lelaki, yang harus dipersalahkan ialah kedua-duanya, bukan perempuan sahaja.\nNaratif \u201cTun Kudu\u201d pula memperlihatkan kelakuan buruk seorang sultan yang sanggup menggunakan isterinya untuk mencapai tujuan politiknya. Tindakan sultan menawarkan permaisuri baginda, Tun Kudu kepada Seri Nara Diraja adalah tidak wajar dan bersifat dayus. Akibatnya, Tun Kudu dikahwinkan dengan Seri Nara Diraja dan akhirnya meninggal dunia dalam penderitaan jiwa dan raga kerana nasib dan kehidupannya telah dicatur sedemikian rupa oleh penguasa politik istana. Terdapat satu pelajaran penting di sini. Perempuan atau isteri ialah amanah kepada lelaki atau suami, bukan \u201cbarang\u201d pertukaran untuk tujuan kepentingan politik kaum lelaki.\nMelalui cerita \u201cRaja Fatimah\u201d pula, sekali lagi pengarang memperlihatkan peranan perempuan dalam usaha menentukan corak politik di istana. Dalam konteks ini, Raja Fatimah diperlihatkan mempunyai suara dan berperanan untuk menentukan pelantikan sultan pada ketika itu. Melalui cerita \u201cTengku Kamariah\u201d, menunjukkan peranan perempuan dalam jatuh bangun politik istana. Tengku Kamariah, anak Sultan Abdul Jalil Riayat Shah pemerintah Johor yang dikahwini Raja Kecik Siak, bangkit melawan kekejaman suaminya yang dikahwininya secara paksa. Kemarahan kepada suami yang telah membunuh ayahanda kesayangannya menyebabkan beliau berkomplot dengan adiknya, Raja Sulaiman, meminta bantuan Daeng Parani bersaudara untuk menyerang dan menewaskan Raja Kecik Siak. Dalam konteks cerita ini, perempuan yang selalu menjadi \u201cmangsa\u201d ada ketikanya akan bangkit menjadi \u201cpenguasa\u201d untuk menjatuhkan \u201cmusuh\u201dnya.\nCerita \u201cKuning\u201d juga membuktikan kebolehan, ketabahan dan kebijaksanaan pemerintah perempuan Raja Kuning, puteri tunggal Raja Ungu. Walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran dari dalam dan luar istana, Raja Kuning tetap kekal memerintah Pattani dengan aman damai. Cerita ini membuktikan, perempuan juga boleh menjadi seorang pemerintah yang baik dan bijaksana, serta mampu mewujudkan keamanan dan kemakmuran pada negerinya. Begitu juga dengan cerita \u201cTun Fatimah\u201d yang memberikan peringatan betapa dendam seorang perempuan boleh melumpuhkan perasaan dan kebijaksanaan lelaki. Tun Fatimah yang dikahwini Sultan Melaka selepas keluarganya dibunuh, berdendam dengan suaminya sendiri, malah enggan melahirkan zuriat suaminya yang kejam. Namun, masa sahaja yang mampu merawat luka dan mengubah manusia. Tun Fatimah terpaksa menjalani kehidupan dengan suami yang dibenci, tetapi kemudian dendam bertukar menjadi kasihan, dan akhirnya bertukar sayang. Daripada benih cinta yang baharu tumbuh itu, lahirlah anak lelaki, iaitu Raja Ali atau Raja Kecil Besar, yang kemudian ditabal sebagai raja dengan gelaran Sultan Alaudin Riayat Shah. Melalui kisah \u201cCik Safura Negara\u201d, puteri Sultan Kedah ke-15, memberikan teladan bahawa sesuatu tindakan tidak bijak akan menimbulkan penyesalan pada penghujungnya. Tunku Safura yang mahukan anaknya sendiri menaiki takhta dan menolak adik tirinya, sehingga sanggup meminta bantuan daripada pihak luar, akhirnya berasa menyesal dan sedih kerana kehilangan satu-satunya puteranya.\nNovel ini memberikan perhatian khusus dengan merangka suatu naratif yang tersendiri bagi memperkenalkan setiap perempuan ternama yang pernah wujud dalam teks sastera klasik.\nMeskipun kisah yang dipaparkan berkait dengan kehidupan pada zaman silam, namun nilai moral atau pengajaran yang dapat ditelusuri daripada kisah-kisah suka duka perempuan pada zaman tersebut tetap sesuai dan relevan sepanjang zaman. Pembacaan dan penghayatan terhadap kisah-kisah ini boleh dijadikan sebagai sempadan dan tauladan berguna ketika menjalani kehidupan masa kini.\nHampir semua cerita dalam kumpulan ini dibina secara berstruktur, iaitu terdiri daripada bahagian permulaan, pertengahan dan pengakhiran. Hal ini menjadikan persembahannya banyak berlangsung secara kronologi. Hal ini tidak menghairankan memandangkan semua cerita dalam karya ini bersumberkan teks sastera tradisional atau hikayat yang diolah semula dalam bentuk cerita pendek atau cerpen. Peristiwa-peristiwa yang disusun dalam setiap bahagian kebanyakannya bergerak secara berurutan waktu. Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa selitan teknik monolog, misalnya ketika memaparkan pergolakan fikiran Ratnamala tentang suaminya yang keletihan sewaktu memerintah negeri Kedah.\nSelain pemaparan secara kronologi, terdapat juga penggunaan teknik imbas kembali (flashback), terutama ketika pengarang memaparkan peristiwa masa lalu, misalnya ketika Cik Ratnamala diingatkan oleh suaminya tentang penjajahan Portugis di negeri Melaka. Unsur konflik ditampilkan pada setiap cerita yang membawa kepada peleraian. Dalam cerita Cik Ratnamala misalnya, konflik bermula apabila Tunku Sofia menolak lamaran daripada Raja Aceh, yang membawa kepada peperangan dan berakhir dengan kekalahan Kedah.\nKeistimewaan atau kekuatan novel ini terletak pada subjek penceritaannya, iaitu para perempuan dalam hikayat yang direkonstruksi dan dikumpulkan dalam satu buku. Sebelum ini, tidak banyak bahan bacaan yang menampilkan watak-watak perempuan secara aktif dalam karya teks klasik, dan jika ada pun, mereka hanya disentuh secara sepintas lalu sahaja. Sebaliknya, novel ini memberikan perhatian khusus dengan merangka suatu naratif yang tersendiri bagi memperkenalkan setiap perempuan ternama yang pernah wujud dalam teks sastera klasik.\nGaya bahasa yang digunakan sebagai medium dalam penulisan naratif ini bersifat komunikatif. Penggunaan bahasa pertuturan sehari-hari mengambil tempat utama dalam usaha menggambarkan monolog dalaman watak-wataknya. Meskipun ceritanya berkisar pada cerita pada zaman silam, namun bahasa yang digunakan ialah gaya bahasa semasa yang bersifat sederhana. Penceritaannya tetap berlangsung dengan lancar dan mudah difahami oleh pembaca.\nBeli novel ini di sini.\n_________________________\nProf. Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman ialah pensyarah kanan Jabatan Kesusasteraan, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012 bagi buku kajiannya, Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik (Penerbit USM, 2012). Norhayati juga terpilih sebagai pembimbing kuliah utama Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) XXIII 2020." "Menanggapi Penolakan Karya sebagai Peluang Kedua\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBagi penulis pemula, karya yang ditolak dan tidak tersiar tentunya memberikan kesan. Penulis akan hilang keyakinan dan berasa penulisannya tidak bagus. Jika hal ini tidak ditangani dengan betul, penulis akan mula kecewa dan akhirnya patah semangat untuk terus menulis.\nUntuk mengulas lanjut tentang hal ini, Nisah Haron dalam siaran Secangkir Kopi Jam Sepuluh yang bersiaran pada Sabtu, 31 Julai 2021 dengan tajuk \u201cMengapa Cerpen Ditolak?\u201d menasihatkan penulis pemula supaya teruskan menulis. Siaran ini merupakan lanjutan daripada siri pertama musim keempat kelolaan Azian Mohamed Isa.\n\u201cAnggap sahaja cerpen yang tidak tersiar itu sebagai belum tersiar. Penolakan itu bukanlah hukuman mati dan penamat pada perjalanan penulisan. Penolakan merupakan salah satu proses dalam perjalanan kreatif seorang penulis. Jika kita tidak belajar peritnya rasa kecewa, bagaimana untuk kita raikan manisnya kejayaan,\u201d ujar beliau.\nNisah juga menyarankan penulis pemula untuk sentiasa berpegang pada pesanan Allahyarham Dr.Othman Puteh, mentor penulisannya, \u201cKalau baru menulis cerpen, tulis sahaja dahulu, jangan tunggu sehingga cerpen itu tersiar baru kita mahu menulis cerpen yang baharu. Hendaklah terus menulis.\u201d\nDengan pengalaman hampir tiga dekad bergulat dalam dunia penulisan, Nisah menegaskan bahawa penulis boleh mengawal sebuah cerpen itu daripada ditolak dengan menjadi seorang penulis yang bertanggungjawab dan berilmu. Kawal kepanjangan cerpen yang mahu dihantar dengan mengetahui selok-belok ciri-ciri dan konsep rumah penerbitan atau majalah. Pelajari ciri-ciri sebuah cerpen yang baik. Penulis boleh melayari episod pertama \u201cTip Cerpen Pasti Terbit\u201d untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang hal ini.\n\u00a0\nPenulis juga hendaklah mengelak daripada menghantar karya hasil ciplakan atau plagiat. Karya yang dihantar merupakan cerminan diri seorang penulis. Mengakui karya orang lain sebagai karya asli yang ditulis sendiri dan tidak diterbitkan di mana-mana merupakan perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan sifar integriti.\nHal ini juga mendapat perhatian daripada Rozninah Abd. Azib, mantan editor yang menangani sejumlah karya di meja redaksi Dewan Sastera. Antara sebab cerpen tidak tersiar dan dimasukkan ke dalam fail tolak adalah kerana isu plagiat. Katanya, \u201cEditor perlu berani menolak karya dan bertanggungjawab dengan tindakannya.\u201d Beliau menyanggah sesetengah tanggapan penulis yang menyatakan editor sebagai Tuhan yang mempunyai kuasa untuk menolak atau menerbitkan karya. Seorang editor yang berwibawa akan sentiasa bertanggungjawab dengan kandungan yang tersiar di bawah kendaliannya.\nRozninah turut menyentuh tentang penolakan karya bukan hanya berlaku kepada penulis baharu. Malah, tulisan penulis mapan juga pernah ditolak sebahagiannya. \u201cPenulis yang sudah lama menulis adakalanya cenderung untuk mengulang isi, bentuk dan gaya yang sama. Proses pengulangan ini biasanya terjadi oleh sebab penulis sudah tepu idea. Justeru, editor berhak untuk menolak cerpen tersebut bagi mengawal kualiti majalah dan reputasi penulis mapan itu sendiri,\u201d tegasnya.\nPenolakan karya ialah peluang kedua untuk penulis memperbaiki kelemahan dan mendalami ilmu penulisan. Penulis juga perlu bertanggungjawab menjaga integriti karya. Editor pula harus berani dan bertanggungjawab menjalankan tugas. Hanya dengan memahami peranan dan jalinan hubungan editor-penulis ini yang akan memastikan wujudnya ekosistem yang subur dan selamat dalam industri perbukuan dan penerbitan.\n\nUntuk menonton episod \u201cMengapa Cerpen Ditolak?\u201d boleh tekan pautan ini.\nPelayar juga boleh terus ke halaman Secangkir Kopi Jam Sepuluh di Facebook untuk menonton episod-episod terdahulu." "Memartabatkan Bahasa Melayu dalam Ekonomi dan Perniagaan Tanggungjawab Bersama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Aspirasi Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob yang mahukan bahasa Melayu dimartabatkan bukan sahaja di dalam negara bahkan pada peringkat antarabangsa sewajarnya digalas bersama dalam setiap bidang termasuklah dalam bidang ekonomi dan perniagaan. Sehubungan dengan itu, Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul, yang juga penerima Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM) 2021 diundang sebagai tetamu di studio Selamat Pagi Malaysia.\nBahasa dan kehidupan tidak dapat dipisahkan kerana bahasa merupakan khazanah bernilai yang perlu diperkasakan oleh setiap individu tanpa mengira ras dan agama selagi seseorang itu bergelar warganegara.\nTambah beliau, dalam usaha meletakkan bahasa Melayu pada kedudukan yang tinggi, keyakinan penuturnya terhadap kemampuan bahasa juga perlulah kuat. Pendapat yang menyatakan bahawa penggunaan bahasa Melayu tidak akan membawa kecemerlangan adalah tidak tepat kerana sebagai pegawai yang berkhidmat di sebuah universiti watan dan pada masa yang sama mengangkat agenda memartabatkan bahasa Melayu, beliau masih mampu mencapai kecemerlangan dan kegemilangan. \nUKM juga sebagai sebuah universiti yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar baik dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PnP) mahupun penyelidikan masih mampu berada pada kedudukan yang membanggakan dalam penarafan universiti dunia.\nUjarnya lagi, beliau sendiri turut menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam PnP selain menghasilkan lebih daripada 40 buah buku yang berkaitan dengan bidang ekonomi dan perniagaan dalam bahasa Melayu. Buku-buku tersebut menjadi rujukan utama dan buku sampingan bagi para pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini.\nBeliau juga mengukuhkan dampak ilmiah kepada komuniti dan masyarakat apabila dilantik menjadi kolumnis bagi dua majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu Dewan Ekonomi dan Dewan Masyarakat.\nMenurutnya lagi, kegemilangan bahasa Melayu dalam bidang ekonomi dan perniagaan tidak perlu dipertikaikan kerana telah bermula lama sejak zaman kegemilangan tamadun Melayu lagi. Kini dalam usaha merealisasikannya kembali, tanggungjawab tersebut tergalas pada bahu setiap penuturnya. Semua pihak yang terlibat perlu memupuk keyakinan kepada Keluarga Malaysia, iaitu penggunaan bahasa Melayu dalam setiap aspek mampu membawa kecemerlangan.\nBanyak cabaran dan halangan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dalam bidang ekonomi dan perniagaan. Konsep memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris juga janganlah disalah tafsir. Usaha mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris penting untuk menerokai bidang ilmu bagi menambah kemenjadian masyarakat pada peringkat antarabangsa. Namun begitu, harus diingat bahawa kita juga bertanggungjawab membawa bahasa ibunda ke peringkat yang lebih tinggi.\nUlasnya lagi, antara cabaran lain untuk memartabatkan bahasa Melayu termasuklah kurangnya pembudayaan yang mendalam dalam sistem pendidikan, tempoh penjajahan yang terlalu lama dan penerimaan bidang moden yang diasaskan oleh tamadun Barat. Pada zaman moden kini, cabarannya lebih meluas dengan penggunaan teknologi, bahasa rojak, bahasa basahan dan sebagainya yang turut menjadi antara cabaran dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu." "Parameter Kecendekiawan Sasterawan Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSingapura \u2013 Sastera ialah alat untuk menyampaikan tujuan, mempertajam pandangan manusia terhadap hidupnya, memberikan kesedaran dan memperkaya jiwa, mempertingkat peradaban manusia, dan juga sebagai dokumen kebudayaan yang melafazkan cita rasa, hati budi, orientasi pemikiran dan keagamaan yang diungkapkan dalam bentuk bertulis. Hal ini dapat dibuktikan melalui artifak-artifak sejarah dan budaya yang banyak ditemukan dari Aceh hingga Papua, bahkan mengangkat bahasa Melayu sebagai lingua franca. Di Sri Lanka misalnya, bukti perkembangan percetakan penulisan Melayu telah ditemui sejak abad ke-19 lagi.\nMelihat akan peri penting kefahaman terhadap ranah sastera yang perlu dijana dan diturap ke dalam jiwa dan pemikiran manusia dekad ini, maka Yayasan Warisan Melayu melalui siri wacananya yang ketujuh, telah membincangkan isi keintelektualan Melayu dengan judul \u201cSastera Melayu Kecendekiawan Berseni Kata\u201d yang disampaikan oleh Dr. Azhar Ibrahim Alwee dari Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura pada 31 Julai melalui siaran langsung Facebook.\nTakrif sastera Melayu mungkin lebih dikenali oleh penulis, pengkritik dan dunia penerbitan Melayu, namun ungkapan berseni ini memerlukan daya estetik dan kematangan yang tidak wajar difahami secara literal semata-mata. Bahkan, maksud kata berseni mengandungi kemampuan untuk mengungkapkan kefasihan yang tersendiri, kedalaman isi yang kuat, serta dapat menjana imaginasi, idea alternatif dan visi baharu. Justeru, ruang lingkup estetika yang terkandung dalam sastera tidak boleh bergantung semata-matanya pada nilai estetika tradisional zaman dahulu. Perlu ada anjakan paradigma yang bersesuaian dengan perkembangan arus pemodenan yang deras. Lantaran itu, konteks kata yang terlafaz perlulah padu dan baharu. Hal ini demikian penting kerana sastera dapat membawa para pembaca ke gerbang baharu untuk melihat realiti dan memperkembangkan apa-apa sahaja yang lebih baik untuk diusahakan.\n\u201cJusteru, amat janggal dan tempang sekiranya setiap kajian tentang keintelektualan Melayu tidak merujuk ranah sastera melalui sasterawan Melayu. Hal ini kerana, sastera bukanlah cerita-cerita kosong. Sebaliknya, sastera dan keintelektualan sering berhubung dan tidak boleh dipisahkan.\n\u201cMisalnya, karya-karya Muhammad Haji Salleh yang kaya dengan puitika sastera Melayu, Harun Aminurrashid yang terkenal dengan novel-novel sejarah, Shahnon Ahmad yang sering mengungkapkan persoalan kemasyarakatan dan kemanusiaan, Siti Zainon Ismail bersama puisi, cerpen dan kajian ilmiahnya, dan Kassim Ahmad yang terkenal sebagai public intellectual yang sering tampil dalam sfera pemikiran Melayu, maka parameter keintelektualan para sasterawan ini jelas dapat diukur,\u201d ujar Azhar Ibrahim.\nTidak kurang juga sasterawan Singapura yang aktif berpencak di ranah sastera, bahkan hasil karya mereka dinikmati oleh masyarakat kerana padat dengan cerita yang mengangkat persoalan sosial dan gagasan kemanusiaan. \u201cKelompok sasterawan ini harus diungguli pemikirannya, kerana peranan mereka dalam menyatakan keberanian di hadapan penguasa misalnya, adalah amat penting untuk menegur retorika kosong, licik dan jahat. Mereka mewakili suara hati masyarakat yang mengimpikan keadilan dan keamanan sejagat,\u201d tambah beliau.\nDemikian, hal ini perlu difahami tentang peri pentingnya keharusan membicarakan kecendekiawan ranah sastera, kerana tradisi persuratan yang datang daripada pujangga Melayu, perawi, ulama dan tukang cerita adalah untuk menggerakkan pesanan, kritikan dan gagasan idea daripada satu generasi kepada generasi seterusnya. Inilah tujuan dan kepentingan sastera yang wujud sejak abad ke-20. Misalnya selepas peperangan, ada usaha dipancarkan melalui penulisan yang mengangkat aspirasi untuk bangun dan merenung kembali penindasan yang telah dilakukan oleh kuasa feudal dan kolonial yang tidak berpihak kepada rakyat. Justeru, sastera sebagai wadah pengaliran idea untuk kemajuan dan perubahan dalam masyarakat, juga penting dilihat sebagai wahana pendidikan, kebudayaan, kebahasaan, dan kesenian.\nNamun demikian, kelompok sastera dan sasterawan pula sering dipandang sepi dan terasing. Pemikiran dan suara hati mereka yang mewakili kelompok sanubari rakyat selalu sahaja dipinggirkan. Maka, tidak hairan apabila karya-karya sastera amat jarang dipertonton atau difilemkan. Hanya selepas ketiadaan seseorang penggiat sastera atau sasterawan, barulah karya-karya mereka diangkat. Sedang dari sisi lain, ramai penulis moden menulis novel bukan untuk menyumbang kepada sastera tetapi untuk dijadikan drama dan filem. Menurut Dr. Azhar, para pempengaruh pula membanjiri dunia penulisan media sosial dan mereka tidak datang daripada \u201ctop leadership\u201d sastera. Golongan teknokrat pula tidak menganggap sastera sebagai sesuatu yang menguntungkan atau boleh membawa perubahan pada pembangunan masyarakat. Sedangkan, daya pemikiran hayat sasterawan lebih panjang, malah gerakan budaya, seni serta sastera lebih luas, bebas dan berdaya tahan dalam suatu jarak masa yang panjang jika dibandingkan dengan hayat politik.\nKecendekiawan pemikiran golongan ini mampu menerobos ke dalam ranah pendidikan remaja dan dewasa. Masalah kekurangan sokongan terhadap sastera ini juga timbul akibat daripada keghairahan pengteorian, iaitu ketaasuban membaca teori sastera tanpa membaca karyanya. Justeru, dunia sastera terpisah daripada golongan cerdik pandai, sedangkan keintelektualan dan kecendekiawannya jelas terangkum dalam sastera Melayu.\n\u201cOrang yang menganggap sastera tidak membawa impak yang baik kepada dunia adalah orang yang barangkali tidak membaca karya sastera,\u201d ujar Azhar Ibrahim.\nLihat kembali bicara Sasterawan Negara Keris Mas yang ditinggalkan kepada masyarakat umum:\nCara saya menulis mungkin ada yang bersamaan atau yang sesuai dengan teori-teori itu, tetapi bukan itu pola pokoknya. Pokoknya ialah penyampaian perasaan dan fikiran yang ada gunanya untuk kemanusiaan dan kemasyarakatan. Bila kita melahirkan perasaan, maka itu adalah proses kesenian yang menjadi asas estetika. Dan bila kita melahirkan isi, iaitu idea-idea yang menjadi mesej, maka itu adalah proses intelektual.\nDemikian, membaca sastera Melayu sememangnya menyamai membaca kecendekiawan Melayu." "Malaysia Paling Banyak Menganjurkan Hadiah Sastera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nUmumnya, terdapat tiga kategori pertandingan dalam pengiktirafan sastera. Sayembara mempertandingkan manuskrip yang belum pernah terbit, manakala hadiah serta anugerah sastera mengiktiraf sesebuah karya, atau mengiktiraf tokoh sastera.\nMenurut Dr. Saleeh Rahamad, panelis tetap Wacana PENA dan Presiden PENA, Malaysia kini subur dengan hadiah dan anugerah sastera serta sayembara-sayembara sastera. Antara kesemua negara Asia Tenggara, Malaysia merupakan negara yang paling banyak dan mekar tumbuh program sasteranya.\nBaru-baru ini sahaja, Hadiah Sastera Selangor 2020 sudah berlangsung pada bulan Julai lepas, malah Anugerah Sastera Negeri Sarawak juga baru selesai melabuhkan tirai, dan akan menyusul pada 8 Ogos 2021 ini ialah Hadiah Sastera Johor.\nHal ini dibicarakan dalam Wacana PENA ke-4 (Jumaat, 6 Ogos 2021, 9.00 malam), dengan tajuk \u201cHadiah Sastera, Anugerah Sastera: Apa Masalahnya?\u201d. Acara yang dianjurkan oleh Persatuan Penulisa Nasional Malaysia (PENA) kali ini menampilkan dua orang panelis jemputan, iaitu Prof. Dr. Hashim Ismail, pensyarah Universiti Malaya dan Abizai (Zainal Abidin Suhaili), penerima SEA Write Award 2017.\nBagi Abizai, hadiah dan anugerah merupakan motivasi dan ihtifal (perayaan) buat karyawan, secara tidak langsung menyuburkan semangat para penulis untuk terus berkarya, malah membajakan benih untuk penghasilan karya-karya bermutu yang seterusnya dalam dunia sastera.\n\u201cIa juga berperanan sebagai aras tanda yang akan memberikan mereka (penulis) satu semangat yang kuat dan utuh untuk menghasilkan lagi karya yang bermutu,\u201d jelas Abizai.\nHashim juga turut menganggap bahawa hadiah dan anugerah sastera sebagai satu pengiktirafan dan unsur memotivasikan penulis.\n\u201cDi Asia Tenggara, Malaysia merupakan antara negara yang banyak menganjurkan hadiah satera oleh institusi badan kerajaan, bukan kerajaan, badan kerajaan negeri, dan sebagainya. Hal ini satu fenomena positif dalam kalangan penulis dan penggiat sastera tanah air,\u201d tambah Hashim.\nSaleeh menegaskan, dengan penganjuran pertandingan sastera yang banyak, tercipta satu ruang dan peluang untuk penulis meningkatkan nilai diri dan teladan, berdasarkan karya yang ditampilkan.\nDalam hal kontroversi setiap kali pemenang hadiah diumumkan, Hashim Ismail, figura yang banyak terlibat sebagai panel juri memaklumkan, \u201cDalam pelantikan panel juri, penganjur akan melantik panel yang berwibawa dan tidak bermasalah dalam isu sosial, malah wujud kriteria-kriteria tertentu untuk mengelak daripada konflik yang berkaitan.\n\u201cJujurnya, semua calon yang telah disenaraikan dalam pemilihan pemenang telah layak (untuk menang), tetapi bergantung pada panel hakim untuk mencari dan memilih karya yang perlu untuk ditampilkan sebagai pemenang.\u201d\nHashim juga tidak menafikan kemungkinan untuk wujud satu pola apabila seorang panel itu kekal lama dalam satu hadiah sebagai panel juri. \u201cPada satu perspektif, kontroversi sebenarnya bagus juga. Kerana keadaanya menarik perhatian.\u201d\nKadang-kadang wujud persoalan dalam kalangan masyarakat, apakah faktor geografi juga wujud dalam pemilihan pemenang? Abizai sebagai penulis asal Sarawak tidak menafikan wujudnya pandangan ini dalam kalangan penggiat sastera di Sarawak, tetapi beliau percaya masyarakat tidak tertakluk pada satu pemikiran dan pandangan.\n\u201cSecara peribadi, saya percaya dan memandang tinggi dengan kredibiliti para panel anugerah yang selalunya berwibawa dan dihormati dalam dunia kesusasteraan. Saya percaya dengan integriti yang dibawa oleh mereka untuk mengekalkan mutu sastera.\u201d\nBagi Hashim pula, soal geografi merupakan isu perspektif. Hal ini juga berlaku atas faktor posisi politik dan sosial di Malaysia, kuasa penentu yang berlangsung di luar bidang kesusasteraan. \u201cNamun, kita ada kriteria-kriteria konkrit yang menentukan kelayakan pemenang. Pendapat saya, hujah sebenar isu ini berada di luar bidang sastera.\u201d\nSaleeh menegaskan, \u201cDalam penilaian kriteria, kami tidak memilih karya dengan sewenang-sewenangnya. Malah dalam pemilihan panel pun, tersedia tatacara yang rumit demi memenuhi kriteria seorang panel.\n\u201cPara panel perlu bersedia untuk bertegang leher dalam mesyuarat untuk memilih pemenang hadiah. Mesyuarat untuk mencapai keputusan ini kadang-kadang, panel pun boleh menangis,\u201d jelas Saleeh.\nTonton wacana penuh di sini." "Ombak Selatan: Rangkuman Cabaran Hidup Orang Melayu Singapura 1970-an\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSingapura \u2013 Jamal Ismail atau lebih mesra dengan panggilan Pak Jamal merupakan sasterawan Singapura yang sangat berbakat dengan gaya penulisan dan penceritaan yang begitu tersusun dan tersulam indah, sehingga dapat dibayangkan kerja-kerja produksi yang digulatinya selama ini. Terkini, Pak Jamal telah mengangkat siri drama Ombak Selatan tulisannya menjadi sebuah novel.\n\u201cTidak seperti tayangan Ombak Selatan yang bersiaran di kaca televisyen yang lebih tertumpu kepada keperluan penonton, cabaran kali ini, saya perlu menyediakan keperluan sebuah buku yang indah bahasanya dan tinggi nilai kemanusiaannya.\n\u201cTayangan secara visual lebih mudah, tetapi untuk sebuah novel saya perlu menyediakan latar sebelum watak-watak berdialog supaya para pembaca dapat membayangkan apa-apa yang diceritakan. Paling perit, saya perlu mengikut kehendak sebuah novel sastera yang tentunya bersifat memberi harapan,\u201d ujar beliau.\nNovel terbaharunya ini merupakan adunan pengalaman hidupnya yang sewaktu masa dahulu pernah berkhidmat dalam Kementerian Kesihatan dan pada suatu ketika ditempatkan di Bahagian Penyakit Berjangkit. Bersesuaian dengan tugasnya itu, maka beliau kerap dihantar ke pulau-pulau kecil di selatan \u201cTanah Besar\u201d Singapura untuk membuat pemantauan dan penyelidikan. Justeru, di situlah bermulanya pengalaman hidup Jamal mengenali budaya dan cara hidup masyarakat di pesisir pantai yang rata-ratanya berkhidmat sebagai nelayan.\nNovel Ombak Selatan ialah cerita tentang kehidupan manusia di pesisir pantai selatan Singapura, yang merangkumi Pulau Sudong sebagai pulau penempatan utama orang Melayu. Krisis kehidupan yang dialami oleh orang Melayu sekitar tahun 1970-an telah mendesak mereka berhijrah ke Singapura, iaitu di Pasir Panjang kerana kemudahan perumahan dan keperluan meneruskan kehidupan. Impak besarnya, mereka meninggalkan kerja sebagai nelayan yang selama ini menjadi akar budaya dan ekonomi penduduk Pulau Sudong. Bahkan, sebuah sekolah Melayu yang terbina di Pulau Sudong juga turut terjejas kerana seorang demi seorang murid di situ meninggalkan sekolah kerana berhijrah. Akhirnya, sekolah itu terpaksa ditutup akibat kekurangan murid, dan hanya tinggal seorang guru sahaja yang setia berkhidmat di situ. Watak guru Badrun dalam novel ini ialah nama sebenar yang terjelma daripada dunia realiti yang diabadikan oleh Jamal Ismail dalam novel ini.\nTatkala mengingat kembali perbualan beliau dengan Cikgu Badrun yang berbunyi, \u201cJamal, jika ada anak-anak aku yang hendak menjadi guru aku tidak akan izinkan, kerana menjadi guru bermaksud perlu menjadi pejuang,\u201d kelihatan Pak Jamal begitu emosional sehingga mengundang sebak. Sisa-sisa pengalaman dan perjuangan yang pekat daripada seorang guru itu telah menghantar kekuatan kepadanya untuk merakamkan dan mengangkat isu pendidikan di Singapura dalam novel ini. Beliau yakin dan percaya bahawa agamawan ialah manusia yang unik kerana mereka memandang dunia dan akhirat sebagai landasan kehidupan. Namun begitu, kerana pesatnya perkembangan pembangunan, maka madrasah-madrasah di Singapura telah diubah sukatan pelajarannya.\nNovel ini juga turut mewarnakan watak guru persilatan yang dijelmakan daripada alam realiti sebagai seorang yang begitu kuat mempertahankan budaya dan cara hidup tradisi. Inilah perca-perca kehidupan tentang kemasyarakatan, gugusan masalah, cabaran, budaya, dan kecintaan terhadap bahasa Melayu yang sempat dirakamkan. Ombak Selatan bukanlah kisah cinta berpanjangan yang tidak berkesudahan, sebaliknya sebuah karya naratif yang hidup dengan nadanya bernafas optimis dan kritis.\n\u201cTidak keterlaluan saya katakan bahawa Ombak Selatan ialah karya yang merakamkan dengan baik pengalaman hidup sebuah komuniti Pulau Selatan yang terusung keluar dari kampung halaman mereka,\u201d ujar Dr. Azhar Ibrahim Alwee dari Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura, ketika mengulas novel ini sewaktu majlis pelancarannya melalui siaran langsung Facebook pada 7 Ogos jam 11.00 pagi.\n\u201cPenulis adalah satu golongan istimewa yang ada kehalusan rasa. Jika jiwanya terganggu, harus dilayan dan direnung. Juga (mereka) perlu mengambil tahu tentang kehidupan orang di sekeliling, sama ada suka atau tidak. Fakta dan imaginasi akan berkembang seiring untuk menghasilkan sesebuah karya sastera,\u201d ujar Jamal Ismail ketika ditanya tentang tip-tip penulisan bagi penulis muda.\n\u201cHanya karya-karya sastera sahaja yang dapat merakamkan cabaran-cabaran hidup manusia dengan lebih dekat. Inilah sejarah bangsa Melayu yang melalui pelbagai kisah hidup, namun terbuka dalam menerima setiap perubahan,\u201d ujarnya lagi.\nPak Jamal juga menyuarakan harapannya agar novel Ombak Selatan dapat dijadikan mutiara rujukan kepada sesiapa sahaja apabila menghadapi cabaran-cabaran kehidupan.\nTonton program penuh pelancaran novel Ombak Selatan di sini. Sila layari Facebook Prakxis untuk sebarang maklumat pembelian novel ini." "Aminah Mokhtar Ungguli ASJ 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJohor Bahru \u2013 Novelis yang amat dikenali dengan novel Iman Markisa, Diari Seorang Jururawat dan Dominasi Tebrau, Aminah Mokhtar, memenangi Anugerah Sasterawan Johor 2021. Atas kemenangan besar Aminah Mokhtar kali ini dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan, anak jati Johor ini juga telah berjaya membawa balik Anugerah Sasterawan Johor, iaitu Anugerah Khas ASJ 2021 atas kecemerlangan besarnya menghasilkan beberapa karya bermutu dalam pelbagai genre. \nMajlis Anugerah Sastera Johor 2021 (ASJ 2021) atau ASJ kali ke-12 telah disiarkan secara dalam talian pada 8 Ogos 2021 (Ahad) pukul 2.00 petang anjuran\u00a0 Kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Warisan Johor dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan dan Persatuan Penulis Johor. Majlis pengiktirafan yang ditunggu-tunggu oleh kalangan penulis Johor ini dirasmikan oleh YAB Datuk IR. Haji Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor. Dalam ucapan perasmiannya, beliau yakin dan percaya bahawa para penulis Johor mempunyai ilham serta idea yang bernas untuk melahirkan sebanyak mungkin karya yang kreatif, kritis dan berkualiti, walaupun sewaktu masyarakat Malaysia masih mendepani pelbagai cabaran, termasuklah cabaran COVID-19.\nDalam ucapannya lagi, YAB Datuk Hasni mengumumkan YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan sebagai penerima Anugerah Penggiat Sastera Johor atas perjuangan besarnya dalam bahasa, sastera dan persuratan.\nMajlis diteruskan dengan menyaksikan penerima Hadiah Karya bagi penulis remaja bawah 19 tahun (puisi eceran), iaitu Norasikin Md. Khalid (\u201cTuanku Tiang Seri Negara Bangsa\u201d), Aira Serafina Juanil (\u201cWarkah Buat Guru\u201d) dan Muhammad Faris Haikal Sabaruddin (\u201cDi Tanah Bertuah Ini\u201d). Penerima Hadiah Karya bagi penulis remaja bawah 19 tahun (cerpen eceran) pula dimenangi oleh Muhammad Faris Haikal Sabaruddin (\u201cDendam Si Belang\u201d) dan Siti Khadijah Abdul Halim yang berjaya merangkul dua Hadiah Karya untuk dua cerpennya, \u201cLukisan Jiwa\u201d dan \u201cDia Pergi Jua\u201d.\nPenerima Hadiah Karya Sastera Siber (puisi eceran) buat tahun ini pula dimenangi oleh Ramlee Wahab (\u201cKebal\u201d), Rohaida Yon (\u201cSetiap Hujung Tahun\u201d) dan Shapiai Muhammad Ramly (\u201cDi Manakah Engkau\u201d). Sementara itu,\u00a0 penerima Hadiah Puisi Eceran bagi tahun 2021 dipenuhi kalangan pemuisi mapan Johor, iaitu Nabiha Mohd Mashut (\u201cBunga Kebebasan\u201d), Mohd Rosli Bakir (\u201cSeruan Agung\u201d), Raja Abdul Rahman Raja Basok (\u201cCinta Sungai Muar\u201d), Rosman Md Shah (\u201cAngin Utara, Selatan, Timur dan Barat\u201d), Shamsudin Othman (\u201cSegugus Ingatan Rubaiyat Bangsa\u201d), dan Shapiai Muhammad Ramly (\u201cGelanggang Kali Ini\u201d).\nAcara diteruskan dengan pengumuman penerima Hadiah Cerpen Eceran, yang turut menampilkan beberapa karyawan berpengalaman merangkul hadiah kemenangan, iaitu Zalila Isa (\u201cPada Hari Buku Hilang dari Raknya\u201d), Mohd Izwanuddin Abd Rahim (\u201cBidak\u201d), [email\u00a0protected] Abdul Hamid (\u201cBukit Janna\u201d), Maslina Ngadiman (\u201cBelayar ke Negeri Segantang Lada\u201d), Khairul Ashraf Adrutdin (\u201cMisdiagnosis III \u2013 Catatan (kepada) Idola\u201d), dan Rohaida Yon (\u201cBait-bait Rindu\u201d).\nASJ 2021 diteruskan dengan barisan penerima Hadiah Esei dan Kritikan Sastera diumumkan, iaitu Mohd Fairuz Mohd Padoli atau lebih dikenali dengan nama MF Kenchana (\u201cTransformasi Karya Sastera kepada Medium Drama TV: Perkembangan dan Peranan\u201d) dan Profesor Madya Dr. Roslina Abu Bakar (\u201cHikayat Pelanduk Jenaka: Perkembangan Kecerdasan Bodily-Kinesthetic dan Kecerdasan Bahasa Kanak-kanak dan Remaja\u201d).\nHadiah bagi kategori drama mempunyai beberapa pecahan genre dan pemenang, namun jelas, pengarang skrip drama yang selalu memenangi hadiah sayembara bagi penulisan novel sejarahnya, Rahimah Muda, berjaya merangkul dua hadiah, iaitu Hadiah Drama Eceran bagi skrip drama \u201cReyok\u201d dan Hadiah Drama Pentas bagi Luqman Al-Hakim. Pemenang lain pula ialah Hadiah Drama Radio yang dimenangi oleh Aminah Mokhtar bagi skrip drama radio \u201cPerempuan Nan Menangis\u201d dan Hadiah Drama TV yang dimenangi oleh Mohd Fadzil Mazlan bagi skrip drama TV \u201cLove You Ustaz\u201d.\nMajlis ASJ 2021 diteruskan dengan penerima Hadiah Kumpulan Puisi Remaja, iaitu Edawati Abd. Wahab bagi buku puisinya, Pahlawan, manakala Hadiah Kumpulan Puisi Kanak-kanak dimenangi oleh Nazim Mohd Subari bagi buku puisi Idolaku.\nMajlis bertambah rancak dengan pengumuman hadiah bagi kategori buku persendirian. Kali ini, penerima Hadiah\u00a0Kumpulan Puisi ialah Aminah Mokhtar untuk kumpulan puisi Berikan Aku Cantiknya Hati, penerima Hadiah Novel Kanak-kanak ialah Mohammad Nazry A. Salam untuk novel Misi Detektif Fateh: Perang Mental, penerima Hadiah Novel Remaja ialah Aminah Mokhtar untuk novel Ruyung Emas, dan penerima Hadiah Novel Dewasa ialah Faizul A. Rahim untuk novel Dendam Aduka. Sementara itu, acara kemuncak pengumuman penerima hadiah telah menamakan Tuah Fadhilah Ithnin sebagai penerima Hadiah Buku Autobiografi untuk bukunya, Visi Cari Tuah: Sebuah Memoir Autobiografi yang Belum Dicerita.\nBagi tahun ini, Anugerah Khas ASJ 2021 turut memilih Zaifulnizam Wagiran sebagai penerima Anugerah Penulis Muda Johor.\nMajlis gilang gemilang ini turut diwarnai dengan acara pelancaran buku antologi puisi dan cerpen ASJ ke-11, Mentafsir Keberanian. Majlis turut menampilkan pameran khas, Pameran Shaharom Husain di Muzium Tokoh Johor, Johor Bahru bagi tokoh sasterawan, budayawan dan sejarawan besar Johor, Shaharom Husain. Beliau juga merupakan penerima Hadiah Karyawan Sastera Johor 2007 dan Anugerah Tokoh Budaya Negeri Johor 1991.\nTonton majlis penuh ASJ 2021 di sini." "Geran Pemulihan Industri Kreatif Khas buat Industri Buku Tempatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) tidak melupakan penggiat dan perniagaan industri kreatif, khususnya penggiat sastera yang terkesan dengan pandemik supaya mampu bangkit semula dan meneruskan pengkaryaan menerusi Geran Pemulihan Industri Kreatif (GPIK). Kali ini, MyCreative Ventures membuka pendaftaran bagi pusingan keempat Geran Sastera dan Penerbitan Buku mulai 19 Julai hingga 30 Ogos 2021 bagi permohonan individu, syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan menerusi laman sesawang MyCreative.\nKumpulan MyCreative Ventures dengan kerjasama Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) mengadakan sesi penerangan webinar yang disiarkan di platform Zoom dan Facebook Langsung pada 5 Ogos jam 8.30 malam. Encik Mohd Hafifi Mohd Noor, sekretariat geran Sastera dan Penerbitan Buku dan Encik Masalwi Hasawan, pengurus pelaburan\u00a0 menerangkan geran dan inisiatif kewangan. Turut hadir ialah Encik Nasir Juri, pengurus besar kewangan; Encik Wan Asyraf Azizi, pengurus geran; dan Puan Gina Subki, pegawai komunikasi korporat.\nPenerangan pertama dimulakan oleh Mohd Hafifi mengenai Geran Sastera dan Terbitan Buku (GPIK Sastera). Geran ini merupakan bantuan kepada para penerbit buku tempatan dan majalah serta karyawan buku bagi melangsungkan aktiviti kajian, penulisan, penerbitan, jualan, serta promosi buku, termasuk karya sastera tempatan, karya fiksyen dan bukan fiksyen, novel grafik, buku komik, puisi, biografi, kajian, dan laporan. Jumlah bantuan yang boleh dipohon bergantung pada permohonan pemohon.\nPermohonan ini juga terbuka kepada para penulis yang sudah bersara dengan pencen tetap, malah inisiatif geran bertujuan untuk membantu karyawan yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Bagi sebarang kemusykilan, Hafifi boleh dihubungi menerusi WhatsApp (017-3013365) atau melalui e-mel [email\u00a0protected].\n\nSesi seterusnya disambung oleh Masalwi yang menerangkan Pelan Pemasaran dan Promosi Digital (GPPD) bagi Penciptaan Kandungan Kreatif: Cabang Kreatif Kesusasteraan yang melibatkan buku, majalah, komik, dan novel grafik. Geran ini direka khas bagi membantu para penggiat industri kreatif dalam pemasaran, baik dalam bentuk barangan, perkhidmatan atau memasarkan bakat mereka secara dalam talian melalui aplikasi, paparan iklan dan pengantara digital yang lain, seperti Media Prima Digital, Astro atau mana-mana platform digital yang diterima oleh MyCreative Ventures, seperti Facebook, Instagram, Google, Tik Tok, Snapchat, Twitter, YouTube, LindkedIn, dan Pinterest. Pakej tawaran yang diberikan adalah berbeza mengikut platform, aplikasi dan kekerapan iklan. Pembayaran semula sehingga RM 3 ribu disediakan di bawah program ini.\nInisiatif bantuan pinjaman kewangan turut disediakan oleh MyCreative Ventures yang disasarkan kepada entiti milikan tunggal, perkongsian atau syarikat sendirian berhad yang terkesan akibat pandemik menerusi Skim Padanan Pinjaman Pelaburan (SPPP) dan Pinjaman Mudah Trek Laju: Pinjaman Pengantaraan bagi Penerbit Kandungan Industri Kreatif, Pinjaman Mikro bagi Usahawan Kreatif, dan Pinjaman Pemulihan Perniagaan Industri Kreatif.\nMasalwi meneruskan penerangan dengan menyarankan penggiat industri supaya memohon Program Halaju Digital, satu langkah untuk membantu penggiat industri kreatif mengadaptasi dimensi digital ke dalam perniagaan ataupun aktiviti kreatif mereka. Inisiatif ini turut memberikan bimbingan latihan dan pemberian peralatan percuma oleh Google bagi membantu penggiat seni mengadaptasi norma baharu dengan lebih cepat. Kemudahan yang ditawarkan termasuk Google for Nonprofits dan Google Arts and Culture. Bagi latihan pula ialah YouTube Creator Academy, Mahir Digital bersama Google dan Skillshop.\n\nPara pemohon digalakkan untuk menghantar permohonan lengkap sebelum tarikh tutup 30 Ogos 2021.\nTonton sesi penerangan ini di sini." "Sastera Zaman Kacau\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nS.M. Zakir menampilkan fenomena pembacaan karya sastera yang penuh nilai dan aspirasi moral sebalik kekacauan dan pergolakan politik zaman.\nEra ini dilihat sebagai era keghairahan terhadap kuasa dan kekayaan, mendorong penemuan dan penciptaan teknologi yang menggandakan kekayaan.\nSeperti yang dikatakan oleh James MacGregor Burns dalam bukunya Fire and Light, England pada abad ke-18 merupakan sebuah negara yang memiliki dinamik ekonomi dan demografi yang luar biasa. Setelah melalui zaman peperangan di Eropah lebih dua kurun, dan kemudian membangunkan politik Westminster yang menyaksikan penurunan kuasa Raja melalui Akta Toleransi pada tahun 1689, England bangun sebagai sebuah negara baharu di Eropah. Setelah mengalahkan Perancis dalam Perang Tujuh Tahun, kuasa kelautan Britain tidak tertanding lagi sehingga menjadi kuasa kolonial dunia yang menjajah hampir seperempat dunia.\nCiptaan baharu merintis perubahan industri, terutamanya industri tekstil, arang batu dan besi dengan pengenalan pada teknologi baharu kincir air, pam wap dan pemprosesan logam. Penduduk England daripada sekitar lima juta orang pada tahun 1730 mencecah lapan juta orang pada tahun 1790. Kota-kota di luar London juga membangun dengan pesat dengan Birmingham mencatat jumlah penduduk teramai, sementara Liverpool menjadi kota pelabuhan yang sibuk dengan perdagangan bijiran dan hamba. England antara negara perdagangan hamba abdi yang terbesar di dunia.\nLondon merupakan kota yang paling besar dan sibuk di England dan seluruh Eropah. London mempunyai penduduk melebihi setengah juta orang pada tahun 1770-an dengan populasi kosmopolitan yang bergaul antara penduduk tempatan termasuk Scotland, Wales dan Ireland, serta pendatang dari luar seperti pelarian Yahudi dari Sepanyol dan Portugal, pendatang Eropah Timur, puak Huguenot dari Eropah, dan kaum kulit hitam yang menjadi hamba abdi, atau sudah merdeka. London merupakan kota perdagangan paling hebat di dunia dengan segala macam barangan dagangan dari seluruh dunia. Bagi sesiapa yang mempunyai wang, London menjadi syurga, tetapi bagi sesiapa yang miskin dan tidak punya wang, London ialah neraka penindasan kelas. Bagaimanapun, dengan kemungkinan terbuka untuk menjadi kaya, London menjadi kawah gula yang dihurungi semut.\nDalam kemajuan yang begitu pesat, England pada kurun ke-18 juga menyaksikan kekalutan, di samping menerima bahang revolusi besar dunia yang mengancamnya. Dua revolusi yang menggoncang England ialah Revolusi Amerika 1776 dan Revolusi Perancis 1789. Revolusi Amerika menyaksikan kemunculan pengaruh republikan dalam dunia politik England, sementara Revolusi Perancis menyerapkan anasir Jacobin dalam parlimen England. Hal ini tambah meruncing oleh pergeseran dua puak utama dalam politik England, iaitu puak Tory dan Whig. Puak Tory ialah keturunan puak konservatif Gereja Anglican, manakala puak Whig ialah pro-Protestan yang senada dengan kaum Jacobite dan kaum republikan. Kedua-duanya silih berganti memegang tampuk pemerintahan England. Suasana politik di England pada abad ke-18 cukup bergolak antara kedua-dua paksi politik yang turut menggunakan pengaruh Raja yang terbatas oleh Perlembagaan untuk mendapatkan sokongan kepada tindakan politik mereka.\nRealiti politik di England pada hakikatnya dikuasai oleh kaum bangsawan dan kelas atasan atau kaum borjuis yang muncul sebagai kelas elit baharu dalam era revolusi perindustrian. Golongan miskin tidak terhitung ramainya hidup berhimpit di dalam bilik-bilik kecil di bangunan-bangunan usang yang menghadap lorong-lorong kecil lagi kotor. Sistem kebersihan dan pembetungan langsung tidak terjaga dengan penakung najis terletak hanya di bawah bangunan, dan bermacam jenis parasit dan tikus hitam merayap membawa penyakit. Saban tahun, ribuan mati oleh penyakit yang disebarkan oleh kekotoran, dan ternyata rakyat hidup dalam kebuluran.\nJurang perbezaan antara golongan bangsawan dan elit dengan golongan bawahan sangatlah luas, sehingga kaum bangsawan dan elit yang juga menjadi pimpinan politik ini tidak berupaya melihat melangkaui jurang tersebut. Para pemimpin politik England waktu itu dikatakan sebagai \u201cpemilik tanah yang kaya sehingga boleh membeli kerusi parlimen, mendapat gaji buta di Kementerian, dan memegang kuasa ke atas jutaan manusia yang langsung tidak mereka kenali dan tidak ingin sekalipun dikunjungi\u201d. Politik dikaluti oleh perebutan kuasa kaum elit yang didukung oleh bank, syarikat insurans, dan syarikat pengeluar serta pelabur termasuk syarikat yang menjajah dan mengaut kekayaan di tanah jajahan di seluruh dunia. Era ini dilihat sebagai era keghairahan terhadap kuasa dan kekayaan, mendorong penemuan dan penciptaan teknologi yang menggandakan kekayaan. Hal ini menimbulkan faham utilitarian yang menukarkan semua perkara kepada \u201cbenda dan dagang\u201d. Pada masa yang sama, golongan bawahan terus ditindas dan melata di bumi yang kotor.\nMasyarakat menengah dan atasan, tidak ketinggalan golongan bawahan, dibawa untuk bersama-sama masuk ke dalam sastera dan memahami nilai-nilai dan moral yang semakin pudar daripada kehidupan di kota industri yang paling sibuk di dunia, dan pergelutan serta berebutan kuasa dalam pengaruh politik tiga segi; kaum bangsawan, elit dan Raja.\nKesusasteraan muncul ketika ini dengan sifatnya yang masih baharu. Sastera pada awalnya muncul sebagai wahana imaginasi yang kemudiannya dikenali sebagai aliran romantik. Sastera dilihat pada waktu itu sebagai salah satu wahana bagi nilai-nilai kreatif yang dihapuskan daripada wajah masyarakat industri kapitalis dapat dipuja dan diperakukan. Namun, kedaulatan dan autonomi imaginasi yang membawa perasaan dalam keterasingan dan keterpencilan mula dilihat sebagai pelarian yang kosong. Visi masyarakat yang adil diterbalikkan oleh romantisisme menjadi nostalgia yang lemah terhadap England tua yang organik dan telah lama berlalu. Penulis-penulis mula keluar mencari fungsi dan visi yang jelas dalam sastera, yang semestinya tidak terasing dan terpisah daripada realiti sosial. Mereka mencari kuasa budaya yang mungkin anarkis tetapi dikekang oleh suatu ketertiban sosial. Sastera bagi para penulis adalah terkait dengan hal-hal kuasa sosial.\nPenulis-penulis di England memikirkan jenis sastera yang harus menjadi penyembuh baharu sosial, setelah politik dan gereja gagal melakukannya. Citra ini dimulakan dengan memasukkan gaya bangsawan tradisional, dan kemudian berakhir kuasanya dengan perpindahan kuasa kepada golongan menengah yang menjadi perantara antara golongan bangsawan dengan golongan bawahan. Hal ini dikatakan demikian oleh Matthew Arnold sebagai \u201ccara menghubungkan kelas menengah kepada budaya bangsa terbaik akan menganugerahkan mereka suatu keagungan dan jiwa mulia\u201d. Hal ini sekali gus menjadi cita-cita masyarakat bagi sebuah pimpinan baharu kelas sosial yang bertamadun dan merakyat.\nSastera mula mencita-citakan wilayah baharu yang semua manusia dapat berjumpa dan berbincang, seterusnya mengangkat nilai dan moral yang semakin diketepikan. Maka, sastera bergerak untuk menemukan nilai dan moral yang tidak dipedulikan oleh kaum politik dan kapitalis yang bersikeras dengan perebutan kuasa dan kekayaan.\nF.R. Leavis menyatakan, \u201cmoraliti bukan harus lagi difahami sebagai suatu kod sistem etika, tetapi merupakan suatu keasyikan yang peka terhadap seluruh mutu kehidupan\u201d. Kebalikan daripada suasana yang menuntut protes malah revolusi, sastera Inggeris sebaliknya mencari nilai dan menggarapnya dengan kelembutan dan menyerap pengajaran tersembunyi tentang nilai dan moral. Masyarakat menengah dan atasan, tidak ketinggalan golongan bawahan, dibawa untuk bersama-sama masuk ke dalam sastera dan memahami nilai-nilai dan moral yang semakin pudar daripada kehidupan di kota industri yang paling sibuk di dunia, dan pergelutan serta berebutan kuasa dalam pengaruh politik tiga segi; kaum bangsawan, elit dan Raja.\nApabila negara hari ini memasuki era malapetaka pandemik, kemudian diheret oleh kekacauan politik yang tidak berkesudahan, masyarakat seperti mencari sesuatu dalam aspek-aspek lain kehidupan. Pencarian ini sepertimana yang dialami oleh mana-mana masyarakat yang mengharungi suasana kekalutan, merupakan pelarian atau eskapisme yang dapat menempatkan cita-cita terhadap rasa aman yang hilang. Hal yang dirasakan dalam sastera hari ini ialah pencarian masyarakat terhadap novel-novel sastera yang mengangkat nilai-nilai dan moral yang tinggi dalam bentuk yang mudah dibaca, dalam kata lain, realisme tegar yang mengembalikan rasa aman alamiah serta jauh daripada kekalutan \u201cdunia kota/pusat politik\u201d.\nTayangan drama Ayahanda yang diadaptasi daripada karya Azizi Hj Abdullah, mendapat sambutan luar biasa, malah novel Ayahanda turut dicari sehingga habis di pasaran. Pesanan utama kebanyakan penjual buku dalam talian seminggu dua itu adalah untuk novel Ayahanda. Puncaknya, pengakhiran drama tersebut menyaksikan pembelian dalam talian yang mencanak naik sehingga menghabiskan stok buku di pasaran dan stok penerbit sendiri. Siri drama Ayahanda tamat pada hari Jumaat, pada hari Isnin sahaja menurut penerbit, terdapat 400 buah tempahan masuk tidak termasuk tempahan sebelumnya. Dan, semua tempahan ini tidak dapat dipenuhi kerana stok penerbit sudah habis.\nNovel Ayahanda menjadi fenomena hari ini walaupun sudah terbit lama dahulu. Fenomena ini juga yang melanda pasaran buku sastera saat kekacauan pandemik dan politik hari ini. Novel Seorang Tua di Kaki Gunung, Tivi, Sampah, Srengenge, Detik-detik Diri di Daerah Daif, Senjakala, Rimba Harapan, dan kumpulan cerpen Patah Tumbuh kini menjadi tumpuan masyarakat pembaca, rata-ratanya pembaca baharu di luar lingkungan sastera. Hal ini sangat memperlihatkan masyarakat mencari pelarian ke dalam sastera, mencari nilai dan moral dalam karya-karya besar sastera yang membawa perjuangan tersebut. Sepertimana masyarakat Inggeris pada abad ke-18 mencari nilai dalam sastera apabila politik dan perindustrian menghancurkan nilai yang ada.\nPada saat ini, karya-karya sastera tinggi dengan perjuangan nilai dan moralnya sangat didambakan oleh masyarakat; dalam melepaskan diri daripada kebosanan perebutan kuasa politik dan kepayahan pandemik. Masyarakat seperti meraba-raba mencari dalam diri mereka melalui karya-karya sastera ini.\n_________________________\nS.M. Zakir atau nama penuhnya Syed Mohd Zakir bin Syed Othman dilahirkan pada 4 Februari 1969 di Kota Bharu, Kelantan. Beliau memulakan kerjaya dalam industri media sebelum menjadi penulis sepenuh masa pada tahun 2000. Sepanjang berkarya, S.M. Zakir telah menerima banyak hadiah dan anugerah sastera, seperti Hadiah Sastera Malaysia 1994/1995 bagi kumpulan cerpen Merengkuh Langit (DBP, 1995) dan Anugerah Sastera Negeri Kelantan bagi kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibrail (Pustaka Nusa, 2001), selain Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil, Hadiah Sastera DBP-Maybank, Hadiah Sastera 100 tahun Kuala Lumpur DBP-DBPKL, Hadiah Formula Malaysia, dan Anugerah GAFIM (kritikan filem). Beliau juga telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Muda Mastera 2010 dan penerima SEA Write Awards (Malaysia) 2011." "Awang Sariyan Dinobatkan sebagai Tokoh Penggiat Sastera Johor 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJohor Bahru \u2013 Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Penggiat Sastera Johor dalam Anugerah Sastera Johor (ASJ) Ke-12 bagi tahun 2021. Anugerah khas ini yang merupakan anugerah persuratan tertinggi dari negeri Johor diumumkan oleh YAB Datuk IR. Haji Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor.\nPenganugerahan ini diberikan kepada Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan atas berkat usaha dan konsistensi beliau dalam perjuangan mengangkat dan memartabatkan bahasa kebangsaan tanpa mengira konteks perubahan global kini.\n\u201cSyabas kepada Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan. Usaha dan keringat perjuangan yang dicurahkan selama ini sungguh besar ertinya kepada kita semua. Perjuangan beliau wajarlah diteladani oleh semua pihak,\u201d ucap Datuk Hasni.\nProfesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, pernah menjadi Penyandang Kursi Pengajian Melayu Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia di Universiti Pengajian Asing Beijing, China, Ketua Pengarah DBP, Profesor Bahasa di Universiti Putra Malaysia dan Universiti Malaya, tenaga akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Brunei Darussalam, Universiti Pendidikan Sultan Idris, dan Pengarah Jabatan Bahasa DBP. Karyanya terdiri daripada lebih 60 judul buku dan lebih seribu makalah. Antara buku tulisannya termasuklah Ceritera Bahasa, Warna dan Suasana: Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia, Sintaksis Bahasa Melayu Bersumberkan Karya Sastera, Asas Falsafah dan Pemikiran Melayu Berteraskan Islam, dan Mencari Makna Diri Melayu: Renungan untuk Bangsaku. Beliau turut menghasilkan buku puisi, iaitu Mencari Makna Diri\u00a0dan Di Denai Kehidupan.\nTokoh bahasa dan persuratan negara ini membawa balik hadiah wang tunai berjumlah RM6000. ASJ kali ini dibuat secara maya menerusi Facebook Yayasan Warisan Johor pada hari Ahad, 8 Ogos 2021 berikutan pandemik COVID-19." "Manfaat dalam Cerita Binatang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRaja Yusoff Ariffin pernah mendapat pelbagai pengajaran daripada penghayatan cerita binatang yang terdapat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu semasa menuntut di tingkatan enam. Beliau ingin mengongsikan pengalaman itu.\nWalaupun cara kancil itu tidak wajar diikuti kerana ia sebenarnya menipu, tetapi hal yang lebih penting ialah teladan sebaliknya, bahawa si kecil tidak semestinya sentiasa menjadi mangsa si besar.\nSelain cerita hantu, cerita asal usul dan cerita berbingkai, sebuah lagi cerita lisan atau dongeng rakyat yang disukai ramai dalam kesusasteraan Melayu lama ialah cerita binatang. Watak haiwan yang paling terkenal dan sentiasa dikaitkan dengan cerita ini ialah kancil.\nTerdapat sebuah hikayat mengenai kancil ataupun pelanduk yang terkenal, iaitu Hikayat Pelanduk Jenaka (kini, lebih dikenali sebagai Cerita Sang Kancil). Dalam cerita tersebut, kancil dianggap sebagai wira. Kancil ini tidak menggunakan kekuatan fizikal untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya, tetapi kemampuan daya fikirnya.\nKeperwiraan kancil tersebut jelas diceritakan menerusi kemenangannya dengan menggunakan akal fikirannya ketika menghadapi binatang yang jauh lebih besar dan berbahaya, seperti gajah, harimau, buaya, dan ular.\nWalaupun cara kancil itu tidak wajar diikuti kerana ia sebenarnya menipu, tetapi hal yang lebih penting ialah teladan sebaliknya, bahawa si kecil tidak semestinya sentiasa menjadi mangsa si besar. Justeru, kancil yang diwujudkan menjadi lambang kekuatan golongan kecil tetapi pintar.\nSelain bahagian yang menceritakan kemenangan kancil itu, terdapat dua bahagian lagi dalam Hikayat Pelanduk Jenaka yang menarik perhatian. Satu daripadanya menceritakan kancil menjadi hakim apabila berperanan menyelesaikan beberapa masalah atau perbalahan manusia dengan binatang lain, yang turut mengandungi falsafah dan pengajaran yang tertentu.\nSecara halus, cerita ini menunjukkan bahawa manusia mesti menyedari kelemahan diri. Manusia wajar menyedari mengapa binatang pula yang mesti menyelesaikan masalah manusia (yang disebabkan oleh manusia sendiri), sedangkan manusia merupakan sebaik-baik kejadian yang turut dikurniai Allah akal fikiran. Oleh sebab ada akal fikiran, hanya manusia sendiri yang dapat menyelesaikan perbalahan sesama mereka, bukan bergantung harapan pada anasir lain.\nJusteru, cerita kancil turut mengajar kita agar menggunakan akal untuk berfikir apabila menghadapi sesuatu masalah. Di sinilah kepintaran sang kancil wajar diteladani. Jangan gunakan kebijaksanaan untuk tujuan keburukan, tetapi gunakan akal sebaik-baiknya agar tidak hanya berserah pada takdir hidup di hadapan.\nSatu bahagian lagi yang menarik membawa cerita kancil dikalahkan oleh binatang yang lebih kecil atau lemah, iaitu siput babi, agas dan bangau. Cerita-cerita ini bertujuan untuk memberikan kesedaran bahawa seseorang yang pintar dan bijak jangan sentiasa berlagak sombong serta lupa daratan kerana sesekali dia akan turut kecewa lantaran ada yang lebih pandai daripadanya. Satu kenyataan yang pahit untuk ditelan pada masa kini ialah ramai manusia menyalahgunakan kepintaran mereka untuk menipu dan mencari kemewahan, tanpa menyedari, mereka akhirnya akan menerima akibat perbuatannya juga suatu masa nanti.\nWalaupun suasana, latar tempat dan masanya purba, isi kandungan dan watak-wataknya tetap boleh disesuaikan dengan keadaan dan suasana zaman sekarang.\nCerita binatang, khususnya watak kancil merupakan rekaan semata-mata. Walaupun begitu, ceritanya diminati oleh kanak-kanak pelbagai usia sehingga kini. Meskipun kini kancil sukar ditemui di Malaysia, tetapi namanya tidak pernah luput daripada ingatan masyarakat kerana kewujudan cerita mengenainya dikisahkan secara turun-temurun.\nKisah-kisah rakyat seperti cerita binatang sememangnya wajar dilestarikan. Cerita binatang kita juga mampu menghiburkan, walaupun usaha memasyarakatkan ceritanya pada hari ini masih tidak cukup kuat. Atas cabaran zaman serba moden sekarang, sudah terlalu banyak unsur media dan wahana dari luar negara yang turut menuntut ruang penyampaiannya dalam kalangan masyarakat, malah kebanyakan isi kandungannya juga cukup menghiburkan dan mempunyai garapan yang sofistikated dan maju.\nNamun begitu, hal ini tidak sepatutnya mengurangkan kekuatan yang sudah ada dalam cerita binatang tempatan. Walaupun suasana, latar tempat dan masanya purba, isi kandungan dan watak-wataknya tetap boleh disesuaikan dengan keadaan dan suasana zaman sekarang. Isi pengajarannya tetap relevan sepanjang masa.\nCerita binatang dapat memberikan pengajaran moral, selain menyampaikan kritikan dan sindiran terhadap manusia. Lihat sahaja dengan kisah Sang Kancil. Jelas, pengajaran moral, kritikan dan sindiran terserap kukuh dalam isi ceritanya.\nPada masa lalu, cerita binatang pernah dijadikan komik di beberapa akhbar dan majalah. Walau bagaimanapun, hal itu belum memadai kerana media lain yang lebih berpengaruh diperlukan untuk memainkan peranan. Dalam hal ini, televisyen diyakini dapat memainkan peranan tersebut dengan berkesan.\nSaya fikir usaha memperkenal cerita binatang lebih wajar dimulakan daripada peringkat kanak-kanak. Ada juga cara lain yang lebih berkesan, iaitu filem animasi (tempoh masa penceritaan yang lebih panjang) yang disiarkan di televisyen. Kanak-kanak menggemari cerita binatang dan filem animasi. Justeru, filem animasi merupakan media yang paling tepat. Tidak lama dahulu, terdapat beberapa buah filem animasi tempatan, seperti siri Hikayat Sang Kancil; Sang Kancil, Kerbau dan Budaya, Sang Kancil dan Monyet dan Sang Kancil dan Buaya terbitan Filem Negara Malaysia. Namun demikian, Garapan ini hanyalah filem selingan, bukan rantaian. Usaha tersebut perlu dilakukan dengan lebih serius dan konsisten.\nKanak-kanak kita hari ini juga lebih menggemari dan mengenali watak-watak haiwan daripada filem animasi Barat, khususnya dari Studio Disney, seperti The Lion King, Ratatouille, The Jungle Book, Zootopia, dan A Bug\u2019s Life. Begitu juga dengan anime dan manga Jepun yang makin popular dalam kalangan kanak-kanak.\nOleh itu, para karyawan kita, khususnya dalam industri kreatif filem dan televisyen, perlu serius dan berusaha gigih mencari prakarsa dan strategi untuk merekayasa dan menghidupkan kembali watak-watak binatang yang sedia ada dalam kisah lisan rakyat kita. Kisah-kisah ini boleh ditampilkan dengan suasana, pengajaran dan garapan yang lebih sesuai dengan zaman sekarang.\nDiharapkan gerakan merekayasa cerita binatang dalam filem animasi kita dapat dihasilkan, sedikit demi sedikit. Semoga jumlahnya nanti dapat mengimbangi jumlah filem animasi Barat (sekurang-kurangnya, jikalau pun tidak dapat terus menggantikan). Ceritanya juga boleh diselitkan dengan isu semasa, seperti perpaduan, kejiranan dan kepimpinan negara, selagi jiwa dan keasliannya masih dikekalkan. Sebenarnya, industri animasi kita sudah pun berjaya menghasilkan isi kandungan yang membanggakan dan mendunia, seperti tiga francais animasi yang terkenal, Upin & Ipin, Ejen Ali dan Boboiboy. Sudah tiba kita melihat kembali warisan khazanah cerita kita sendiri untuk suatu pacuan imej yang menyegarkan dan tetap mengandungi budaya dan kebaikan tradisinya.\nTonton cerita binatang untuk kanak-kanak terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka di sini.\n_________________________\nRaja Yusoff Ariffin atau Raja Yusoff Raja Ariffin dilahirkan pada 21 Ogos 1962 di Pulau Tiga Kanan, Parit, Perak. Beliau menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Raja Yusoff merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur, rakan Tajulmedia Melayu dan pernah menganggotai PAKSI. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun \u201cBeraya di Kampung Warisan Melayu\u201d Satu Property (2020)." "kepada seniman agung bangsaku, ramlee bin putih\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\niramamu mengalir\ndi alun sungai waktu\ndan salasilah\ndan akhirnya menjadi lagu bangsa,\nkerana kau membaca watak\ndan perasaan mereka,\npada riak dan gelombangnya.\nmaka kau dikenang di madura\ndi gang-gang jakarta yang panjang\ndan di rumah serta sawah betawi.\ndan di tebing sungai deli\ndi pondok sungai acheh,\ndi mana leluhurmu berumah.\ndan di pulau pinang\ndi kampung dodol,\ndi mana darah pertamamu\nmenetes ke bumi.\nlagu dan lakonmu\nmengajak pemuda\nbercinta melalui baris-barismu,\ndan gadis yang kecewa pun\nmemetik bunga sedih suaramu.\nkau penggubah mimpi\ndan juga kenyataan\ndi dusun petani\ndan bagan nelayan.\nkau melukis bahagia\ndan derita\nmemberi bayang\ndan darah\nkepada kezaliman\nyang selalu mengendap\ndari balik kota kuasa.\ntapi kau juga mengarang\nkisah asmara yang termanis\ndi antara penarik beca\ndan anak gadis hartawan,\ndi antara kasih\nyang dipisah darjat,\nuntuk dibawa pulang\nanak kampung\nke dalam harapan yang samar.\ntapi kau juga dalang\nyang meletuskan ketawa\nanak muda serta ayah mereka\nsupaya kesusahan hari dapat dilupa,\nkau mengutip watak-watak\ndari desa sejarah\ndan pagar istana:\npenyanyi muda serta tukang karut yang tua,\nbujang lapuk yang masih segar dunianya.\nkau membawakan raja dan permaisuri,\nbangsawan dan dayang,\ndan paling disanjung 40 penyamunmu,\nkerana kami diberitahu penganalisis politik\nbahawa mereka\nmasih berkeliaran di putrajaya.\nkami ketawa dan setelah itu tersedar\nbahawa dengan jenaka dan sindir\nkau telah melukis sengsara kami.\ndan mengajarkan makna watak dan peristiwa,\nkaulah yang menggesek\ndi tali jiwa dan jantung bangsamu\nkerana kau fasih membaca perasaan\ntabiat dan khilaf mereka.\nkaulah penyanyi,\npengatur lagu\nserta pelakon bangsa\nyang tiada tolok bandingnya.\nPembaca Sajak | Raihani Mohd Saaid" "Juri, Pengarang dan Penerbit Protes Campur Tangan Kerajaan dalam Hadiah Litera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTbilisi \u2013 Campur tangan kerajaan dalam penilaian hadiah sastera bukan asing dalam kesusasteraan global, malah di negara seperti China, pemilihan penerimanya berkait rapat dengan ideologi negara.\nMalah di negara kita sendiri, persepsi wujudnya campur tangan sebegini timbul dari semasa ke semasa sehingga adakalanya mencetuskan kontroversi, meskipun dalam ruang terkawal.\nHarus diakui, campur tangan boleh berlaku secara di sebalik tabir atau dilakukan secara terang-terangan tetapi sekiranya dibenarkan tanpa usaha membantah atau mengkritiknya, hal ini boleh menurunkan atau menjatuhkan martabat anugerah atau hadiah sastera itu sendiri.\nHal ini dapat dilihat daripada tindakan anggota juri anugerah sastera berprestij di Georgia, Hadiah Litera, pengarang dan penerbit menarik diri daripada terbabit dengan proses penilaian atau dicalonkan untuk hadiah tersebut.\nTindakan kolektif itu diambil susulan daripada pelantikan pegawai Kementerian Kebudayaan, Ioseb Chumburidze oleh Menterinya, Tea Tsulukiani sebagai salah seorang panel juri untuk menilai hadiah terbabit.\nSehingga awal Ogos ini, lebih daripada 10 pengarang dilaporkan menarik diri daripada dicalonkan, manakala empat daripada lima juri turut meletakkan jawatan ekoran tindakan kali pertama kementerian itu melantik wakilnya untuk menganggotai panel penilai sejak diwujudkan pada tahun 2015, seperti dilaporkan oleh AGENDA.GE.\nDilaporkan, 93 daripada 110 karya yang dicalonkan turut ditarik balik.\nMalah, Lembaga Pengarah Rumah Pengarang Georgia yang menjadi urus setia acara turut membantah tindakan kementerian, sekali gus menganggap langkah itu tidak dapat diterima.\nMemetik laporan portal berita on.ge, juri yang menarik diri, Bela Tsipuria menegaskan protes itu menggambarkan \u201ckecurigaan yang bukan sahaja daripada para penulis, bahkan seluruh masyarakat Georgia terhadap pentadbiran kerajaan.\u201d\nTsipuria yang juga profesor sastera Georgia dan sastera bandingan serta bekas Timbalan Menteri Pendidikan dan Sains, menarik diri bersama-sama tiga lagi panel, iaitu Oktai Kazumov, Lela Kodalashvili dan Rezo Tabukashvili.\nSementara itu, Pengarah Program Eurasia, PEN America, Polina Sadovskaya berkata percubaan sebelah pihak Kementerian Kebudayaan untuk melantik pegawai kerajaan sebagai juri Hadiah Litera pada tahun ini membangkitkan persoalan penting terhadap campur tangan politik dalam sastera dan seni, serta hak pengarang untuk mengamalkan kebebasan meluahkan ekspresi dan pandangan.\n\u201cAnugerah sastera sepatutnya bebas daripada campur tangan kerajaan dan pengarang perlu selesa dalam menghasilkan karya tanpa berdepan risiko penilaian tidak adil daripada juri atau jawatankuasa pemilihan yang ada dorongan politik.\n\u201cImplikasi daripada hadiah pada tahun ini sepatutnya menjadi peringatan kepada kerajaan Georgia supaya tidak lagi mengganggu ruang kemerdekaan dan kebebasan,\u201d katanya dalam kenyataan rasmi PEN America di laman webnya.\nHadiah Litera yang diberikan secara tahunan itu, mempunyai enam kategori termasuk novel, prosa dokumentari dan kulit buku terbaik." "Kemusykilan Kata \u201cAntara\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata antara\u00a0merupakan kata sendi nama yang kerap menimbulkan masalah kepada pengguna bahasa Melayu. Hal ini berlaku demikian kerana frasa yang berpangkalkan sendi nama antara\u00a0ialah frasa sendi nama. Oleh itu, frasa sedemikian tidak dapat menjadi subjek ayat kerana subjek ayat dalam bahasa Melayu mesti terdiri daripada frasa nama. Hal ini meliputi frasa nama yang telah digugurkan intinya. \u00a0Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\nOleh sebab kata antara\u00a0dengan frasa nama (FN) ialah frasa sendi nama (FS), kata pemeri ialah\u00a0tidak boleh kita gunakan. Hal ini juga benar jika ayat 1 diterbalikkan unsurnya.\nWalau bagaimanapun, ayat 1 kerap digunakan oleh pengguna bahasa Melayu. Oleh itu, kita harus berusaha membetulkannya.\nAyat 1 dan 2 menjadi betul jika kita mengubah strukturnya seperti yang berikut:\nAyat 3 dan 4 adalah betul kerana strukturnya ialah FN + FS, iaitu subjeknya ialah FN (Ali)\u00a0dan predikatnya ialah FS (antara tetamu yang hadir). Kata pemeri adalah\u00a0merupakan kata perangkai opsyenal antara subjek FN dengan predikat FS.\nAda pengguna yang cuba menukarkan ayat 1 dengan memasukkan kata termasuk. \u00a0Sila lihat contoh yang berikut:\nAyat di atas masih tidak betul. Selain subjek ayat tidak boleh terdiri daripada frasa sendi nama (FS), maksud kata termasuk\u00a0ialah \u201csudah masuk\u201d atau \u201ctergolong dalam\u201d. Ayat yang betul adalah seperti yang berikut:\nCara yang lain ialah kita menghasilkan ayat susunan songsang dengan frasa sendi nama yang berpangkalkan kata sendi nama antara. Sila lihat contoh yang berikut:\n8a. \u00a0Antara\u00a0lain, dia malas.\n8b. \u00a0Dia malas, antara\u00a0lain.\nFrasa sendi nama dengan kata sendi nama antara\u00a0di atas sebenarnya merupakan penanda wacana yang mengaitkan sesuatu ayat dengan ayat yang mendahuluinya. Sila lihat contoh yang berikut:\n9a. \u00a0Kegagalannya disebabkan banyak faktor. Antara\u00a0lain, dia malas (FN + FA).\n9b. \u00a0Kegagalannya disebabkan banyak faktor. Antara\u00a0lain, (salah satu/satu)\nfaktornya ialah (bahawa) dia malas (FN + FN).\n9c. \u00a0Kegagalannya disebabkan banyak faktor. Antara\u00a0faktornya, dia malas (FN\n+ FA).\n9d. \u00a0Kegagalannya disebabkan banyak faktor. Bahawa dia malas (adalah)\nantara\u00a0faktornya. (FN + FS)\nJika frasa sendi nama yang berpangkalkan kata sendi nama antara\u00a0bukan digunakan sebagai penanda wacana, maklumat yang lebih lengkap harus dinyatakan. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n10a. \u00a0Antara\u00a0faktor pemanasan global, satu (faktor) daripadanya ialah\npembakaran terbuka (FN + FN).\n10a.\u00a0Antara\u00a0faktor pemanasan global, (salah) satu faktornya ialah pembakaran\u00a0terbuka (FN + FN).\nFrasa sendi nama dengan kata sendi nama antara\u00a0boleh juga digunakan untuk menyelitkan maklumat tambahan dalam ayat. Dalam hal ini, maklumat tersebut diapit oleh tanda baca dua koma. Sila lihat contoh yang berikut:\n9c. \u00a0Pemanasan global disebabkan banyak faktor. Satu fakornya, antara\u00a0lain, ialah pembakaran terbuka (FN + FN).\nKata antara\u00a0digunakan juga untuk menunjukkan hubungan antara dua pihak (perkara) atau lebih, atau antara anggota dalam satu kelompok. Sila lihat contoh yang berikut:\n10a. \u00a0Persahabatan antara\u00a0Ali dengan Ahmad erat.\n10b. \u00a0Perhubungan antara\u00a0Ali, Ahmad dan abu semakin erat.\n10c. \u00a0Terdapat perbezaan antara\u00a0Malaysia dengan Indonesia.\n10d. \u00a0Hubungan antara\u00a0mereka semakin renggang.\n10e. \u00a0Dia membuat perbandingan antara\u00a0buah yang hendak dibelinya.\nKata antara\u00a0berubah menjadi kata arah jika didahului oleh kata sendi nama di. Sila lihat\u00a0contoh yang berikut:\n11a. \u00a0Jarak di antara\u00a0Indonesia dengan Malaysia dekat.\nAda kalanya kata antara\u00a0dipendekkan sebagai antar-\u00a0dalam kata tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:\nantarbenua: \u00a0 antara benua\nantardaerah: antara daerah\nantarkelompok: antara kelompok\nantarnegara: antara negara\nantarpulau: antara pulau\nKata antara\u00a0dapat ditambah imbuhan untuk menjadi kata terbitan atau diiringi kata lain untuk menjadi kata majmuk. Sila lihat contoh yang\u00a0berikut:\nKata Terbitan\nberantara mengantara mengantarai\nperantara pengantara perantaraan pengantaraan\n\u00a0\nKata majmuk\nantarabangsa antara muka" "Membaca Beberapa Puisi Raihani: Inspirasi daripada Filem P. Ramlee\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan menelaah puisi anaknya, penyair Raihani Mohd. Saaid yang menjelmakan bait indah bermakna daripada penghayatan beberapa filem klasik Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee.\nTun Nila membuat pengakuan, dia mencari perempuan yang sanggup memasak bahan-bahan ramuan makanan yang bercampur aduk, yang sebenarnya membawa maksud mencari kesabaran.\nSatu soalan yang sering ditanya, terutamanya oleh peserta bengkel penulisan kreatif ialah cara mendapat ilham atau dari mana seorang penulis mendapat idea untuk menulis. Biasanya, saya akan jawab bahawa ilham boleh datang daripada pelbagai sumber dan satu karya, baik puisi, cerpen atau novel. Mungkin tidak datang daripada satu sumber sahaja\nAntara sumber penting yang membenihkan ilham termasuklah pembacaan, renungan terhadap alam dan pergaulan serta percakapan dengan orang-orang di sekeliling. Ilham juga tercetus apabila menyaksikan karya seni yang telah dicipta. Hal ini termasuklah mendengar lagu, menonton drama atau filem.\nTulisan ini membicarakan satu sumber yang menumbuhkan puisi-puisi Raihani Mohd. Saaid, iaitu filem-filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Sebagai peminat dan pengkaji, Raihani sering memberikan tafsiran terhadap filem-filem Seniman Agung tersebut.\nRaihani Mohd. Saaid mula menulis puisi sejak tahun 1994 dan telah memenangi banyak hadiah penulisan pada peringkat kebangsaan, termasuklah Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Puisi Kumpulan Utusan. Beliau telah membuat kajian terhadap filem P. Ramlee sejak tahun 2000 untuk projek akhir diploma beliau di Akademi Seni Kebangsaan (sekarang Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan, ASWARA), latihan ilmiah pada peringkat ijazah sarjana muda (Universiti Malaya, 2006) dan disertasi sarjana (Universiti Malaya, 2016). Kini beliau sedang menyiapkan kajian pada peringkat ijazah doktor falsafah dengan pengkhususan pada tajuk \u201cKritik Feminis dalam Filem P. Ramlee Terpilih\u201d.\nRaihani telah menghasilkan beberapa puisi hasil tafsirannya terhadap pemikiran P. Ramlee. Antaranya termasuk \u201cNila dan Puspa\u201d (daripada filem Musang Berjanggut), \u201cSelepas Menonton Penarek Becha\u201d (Penarek Becha), \u201cPuisi Perang di Semerah Padi\u201d (Semerah Padi), \u201cBujang Lapok\u201d (Bujang Lapok), \u201cTeratai\u201d (Pancha Delima), \u201cHujan Pembawa Riwayat dan Sebuah Piano di Anggerik Villa\u201d (Antara Dua Darjat), dan \u201cIni Dunia Orang Cantik\u201d (Sumpah Orang Minyak). Kebanyakan puisi yang disebutkan termuat dalam kumpulan puisinya, Naskhah Nuraga\u00a0(ITBM, 2017). \u201cPuisi Perang di Semerah Padi\u201d memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 20015/2016. Di samping itu, terdapat puisi bertajuk \u201cSebelum Bermula Musim\u201d (dlm. Naskhah Nuraga) dan \u201cSajak untuk Ram\u201d (dlm. Terminus A Quo, 2011) yang menyingkap kehidupan serta karier P. Ramlee.\nPuisi \u201cNila dan Puspa\u201d menarik kerana puisi ini menyingkap persoalan politik dan kepimpinan yang relevan dengan isu semasa. Filem Musang Berjanggut (1959) bermula dengan naratif Sultan Pura Cendana yang mengambil anak angkat kerana baginda tidak mempunyai zuriat untuk mewarisi takhta. Tindakan mengambil anak angkat daripada kalangan rakyat untuk menerajui negeri dilihat oleh penyair sebagai kemasukan unsur-unsur meritokrasi. Perkara yang penting dalam pemerintahan bukanlah keturunan tetapi kebijaksanaan.\nuntuk menerajui kerajaan\nkau tidak memerlukan darah bangsawan\ntetapi kebijaksanaan dan kepimpinan\nAnak yang diambil oleh Sultan Pura Cendana dinamakan Tun Nila Utama. Tun Nila diajar pelbagai ilmu serta seni mempertahankan diri, dan setelah dewasa disarankan untuk beristeri yang boleh dipilih daripada kalangan anak-anak pembesar negeri. Tun Nila menolak semuanya lalu dititahkan oleh Sultan untuk keluar dari istana mencari seorang \u201cperempuan\u201d seperti yang dikehendakinya.\nTun Nila pun keluar membawa uncang berisi beras dan rempah ratus yang telah dicampur aduk dan bertekad untuk menghwini perempuan yang sanggup memasak bekalan yang dibawa. Setelah berbulan-bulan lamanya, barulah beliau bertemu seorang gadis bernama Puspawangi yang berjaya memasak bekalan daripada uncangnya. Tun Nila berkahwin dengan Puspawangi dan membawanya pulang ke Pura Cendana.\nSetelah sampai di Pura Cendana, pembesar-pembesar negeri, malah baginda Sultan sendiri menjadi gila bayang apabila melihatkan kecantikan Puspawangi. Sultan membuat helah agar Tun Nila keluar meninggalkan rumah. Sultan dan pembesar-pembesar telah datang ke rumah Tun Nila dengan tujuan untuk bermesra dengan Puspawangi. Adegan Puspawangi melayani mereka mempunyai elemen kiasan yang tajam serta dipenuhi soalan \u201cmaut\u201d mengenai peranan pemimpin dalam pemerintahan negara.\nDalam hal ini, Raihani membina sajak \u201cNila dan Puspa\u201d. Sajak ini berisi dialog antara (Tun) Nila dengan Puspa(wangi). Nila menyuarakan falsafah kepimpinan dan betapa pentingnya seorang isteri pemimpin \u201cyang tahu letak duduk diri/dan dapat membezasukat/antara maruah dengan pangkat.\u201d\nDalam hal ini juga, berlaku lagi dialog antara Nila dengan Puspa. Tun Nila membuat pengakuan, dia mencari perempuan yang sanggup memasak bahan-bahan ramuan makanan yang bercampur aduk, yang sebenarnya membawa maksud mencari kesabaran. Uncang yang berisi rempah ratus itu ialah simbol pada negeri yang akan mempunyai pelbagai perkara dan masalah yang perlu dihadapi dengan tenang dan sabar: \u201cKubawa uncang yang bercampur aduk/untuk menyaring yang hampas dan yang elok\u201d.\nDialog Puspa pula tajam dengan kritik politik yang mendedahkan salah laku pembesar-pembesar negara:\nMereka pemegang dan penggubal kuasa\nmereka pelaksana dan juga pengingkarnya\ndi depanku mereka lelaki biasa\nyang cair di pantai rasa\nPemikiran terhadap kepimpinan disimpulkan melalui baris-baris akhir:\nRaja dan Permaisuri\nHarus lebih dahulu teruji\nKepala yang akan memakai mahkota\nHarus berisi bijaksana\nTakhta itu lautan berombak\nNakhodanya harus sebaik watak.\nBaris \u201cmereka pelaksana dan pengingkar\u201d merujuk khususn pada dialog yang menonjol dalam filem Musang Berjanggut, iaitu \u2018\u2019Undang-undang negeri ini kanda yang bikin. Itu semua boleh padam!\u201d\nSelain Nila dan Puspa, sajak-sajak lain juga menarik. Misalnya, puisi \u201cSelepas Menonton Penarek Becha\u201d daripada filem Penarek Becha (1955) yang ditulis dari sudut pandang watak Amran yang mengagumi nilai kemanusiaan pada diri Azizah. Azizah, watak wanita yang ditunjukkan pertama kali di latar sebuah sekolah, memberikan harapan dan dorongan kepada Amran supaya mengubah nasib hidupnya melalui pendidikan.\nPuisi \u201cPerang Di Semerah Padi\u201d ialah sebuah puisi mengenai peperangan dalam hati watak utama filem Semerah Padi (1956), yang sentiasa terperangkap antara persoalan peribadi dengan persoalan masyarakat. Baris terkuat puisi ini ialah \u201cperang bukan menentukan siapa berkuasa,/perang hanya melihat siapa yang tersisa\u201d. Bagi judul panjang \u201cHujan Pembawa Riwayat dan Sebuah Piano di Anggerik Villa\u201d pula, frasa \u201cHujan Pembawa Riwayat\u201d diilhamkan daripada babak-babak hujan yang menyambung naratif dalam filem Antara Dua Darjat (1960). Manakala \u201cSebuah Piano di Anggerik Villa\u201d bertolak daripada objek piano dalam filem ini yang menyatukan dan memisahkan \u201cantara dua darjat\u201d.\nDalam sajak \u201cBujang Lapok\u201d pula, penyair melihat Bujang Lapok (1957) dari sudut pemaparan kehidupan orang miskin, iaitu tiga bujang lapuk dan masyarakat marhaen Melayu yang menyewa rumah Cik Normah dan menghadapi \u201cbacaan takdir sering kelabu\u201d.\nDunia Bujang Lapok ialah dunia yang penuh cabaran, \u201cderas dan keras\u201d, yang masih dibelenggu oleh adat lapuk, apabila yang miskin juga terpaksa berhabis-habisan menyediakan majlis perkahwinan semata-mata kerana mengikut amalan dan kebiasaan.\nPenyair juga tersentuh dengan penampilan watak Safiah dan Pranee dalam filem ini. Safiah menjadi mangsa kemiskinan apabila dia terpaksa bergantung hidup kepada ayah angkatnya. Tragedinya, ayah angkat tersebut sanggup mempertaruh kehormatan gadis itu untuk melunaskan hutang yang banyak. Pranee pula (antara wanita yang menipu Ramli) ialah seorang watak yang digambarkan sebagai gadis licik yang terpaksa men\u201ccari rezeki\u201d dengan menipu lelaki. Hal ini disimpulkan dalam rangkap:\nkemiskinan melemahkan daya\nruangmu penuh dengan bahaya\nyang akan menjebakmu ke dalam pusaran jijik\nlalu kau harus menjadi si licik.\nBeli kumpulan puisi Naskhah Nuraga di sini.\n_________________________\nSasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan dilahirkan di Bakar Bata, Alor Setar, Kedah pada 13 Jun 1949. Beliau telah menghasilkan banyak kumpulan puisi perseorangan, termasuk Sesayup Jalan (Penerbit USM, 1974), Di Sini Tiada Perhentian (Pewarna, 1977), Keberangkatan (DBP, 1985), Kuala Lumpur and Other Places (Al-Huda, 1988), Pujangga Tidak Bernama (DBP, 1994), Pesanan dari Gunung Ledang/A Message from Mount Ledang (DBP, 2004), Salasilah (DBP, 2005), Menghadap ke Pelabuhan/Facing the Harbour (ITBM, 2010), Cerita dalam Cerita (ITBM, 2014), dan Menunggu Pesawat (DBP, 2021). Zurinah Hassan turut melahirkan beberapa cerpen yang sudah dibukukan dalam kumpulan cerpen Meneruskan Perjalanan (DBP, 1987) dan Menjelang Pemilihan (DBP, 2004). Di samping itu, beliau telah menghasilkan sebuah novel remaja, Hatimu Aisyah (DBP, 1991) dan beberapa buku kajian sastera. Selain menerima Anugerah Sastera Negara pada tahun 2015, Zurinah telah menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) di Thailand pada tahun 2004 dan penyair Malaysia yang pertama menerima Anugerah Sunthorn Phu pada tahun 2013 sebagai pengiktirafan penyair cemerlang ASEAN." "Azmah Nordin Terima Anugerah Sasterawan Negeri Sabah Ke-2\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu \u2013 Azmah Nordin diumumkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sabah yang kedua selepas 31 tahun penganugerahan pertama diberikan kepada Allahyarham Datuk Ismail Abbas (Amil Jaya) pada tahun 1990. Azmah menerima Warkah Penghormatan daripada Kerajaan Negeri Sabah, wang tunai berjumlah RM30 ribu, kemudahan untuk penerbitan karya, dan penterjemahan karya yang sesuai ke dalam bahasa asing.\nPengumuman itu dibuat dalam sidang media khas yang diadakan secara dalam talian pada 13 Ogos 2021 (Jumaat) oleh Menteri Tugas-Tugas Khas, Yang Berhormat Datuk Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor.\nAnugerah Sasterawan Negeri Sabah (ASNS) ini ialah pengiktirafan tertinggi yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Sabah dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah kepada sasterawan yang masih hidup, bermastautin di Sabah dan telah memberikan sumbangan cemerlang dan berterusan dalam perkembangan kesusateraaan tanah air melalui ciptaan karya yang bermutu tinggi dalam bahasa Melayu.\nPada tahun 2020, ASNS telah dimulakan semula dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah. Jawatankuasa penilai terdiri daripada Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh bersama-sama Profesor Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul selaku Ketua Panel Penilai Bersama; dan panel penilai YB Datuk Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif, Profesor Madya Dr. Hajah Asmiaty Amat, dan Datuk Haji Ismail Bungsu.\n\nDasar penilaian tokoh ASNS adalah berdasarkan tiga kriteria, iaitu karya, pemikiran dan sumbangan tokoh tersebut.\nPertama, kuantiti dan kualiti karya dan pengiktirafan yang pernah diterima. Kedua, nilai pemikiran yang diketengahkan terhadap perkembangan sastera kebangsaan, khususnya di Sabah. Ketiga, sumbangan penulis kepada masyarakat.\nKetokohan Azmah sebagai pengarang Sabah tidak perlu disangkal lagi kerana beliau prolifik dalam pengkaryaan sejak karyanya disiarkan dalam majalah Wadah pada tahun 1987. Karyanya bukan sahaja menjalinkan pengetahuan tentang perkembangan ilmu terbaharu, tetapi tekun memerikan emosi watak-watak ciptaannya. Dua buah novelnya, iaitu Timulak Kapal Perang dan Pantai Kasih pernah diangkat menjadi novel pilihan Komponen Sastera dalam Bahasa Melayu (Komsas). Usaha beliau yang sedemikian menyokong pendirian pengkaryaannya bahawa sastera memperjuang kepentingan masyarakatnya. Karya beliau juga mendapat banyak perhatian dan kajian terperinci, serta menjadi kajian sarjana dalam kalangan penyelidik tempatan mahupun antarabangsa. Pada tahun 2020 sahaja, Azmah berjaya merangkul Hadiah Utama Hadiah Sastera Sabah 2018/2019\u00a0bagi kategori novel dewasanya, Gelora Menara (2018). Antara karyanya yang pernah menerima hadiah sastera termasuklah Timulak Kapal Perang (1989), Kukui (1990), Dari dalam Cermin (1992), Dukanya Abadi (1995), Menongkah Lumrah (1996), dan Syumul (2001).\nAzmah Nordin yang berasal dari Kedah dan sudah menetap di Sabah sejak tahun 1973 merupakan seorang pengarang yang amat cemerlang dalam bidang kesusasteraan. Beliau sudah banyak menerima pengiktirafan, termasuk Hadiah Sastera Sabah, Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Maybank-DBP dan Hadiah Esso-GAPENA. Pada tahun 2009, beliau telah menerima Anugerah SEA Write Award daripada Kerajaan Thailand.\n\nBeli karya Azmah Nordin, novel Gelora Menara dan kumpulan cerpen Enigma." "Anugerah Sastera Negeri Sarawak Ke-10 Gemilang dalam Suasana Teratur\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Majlis penyampaian Anugerah Sastera Negeri Sarawak (ASNS) ke-10 telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud di kediaman rasminya pada 13 Ogos 2021. Majlis yang amat ditunggu-tunggu oleh para karyawan Sarawak ini dilakukan dengan begitu teratur sekali dan sederhana mengikut Prosedur Operasi Standard Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sarawak kini sudah beralih kepada Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berkuatkuasa pada 4 Ogos lalu. Acara penuh gemilang ini turut dihadiri oleh Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Yang Berhormat Dr. Anuar Rapaee dan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai bersama-sama para penerima ASNS ke-10.\nAnugerah Sastera Negeri Sarawak (ASNS) ini merupakan anugerah tertinggi yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Sarawak sebagai penghargaan kepada karyawan sastera di Sarawak. Usaha projek ASNS yang dikelolakan oleh DBP Cawangan Sarawak telah dimulakan sejak tahun 1994. Sepanjang pelaksanaan ASNS, seramai lima orang penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak (anugerah utama) telah menerima pengiktirafan.\nPihak penilai ASNS telah bersepakat memilih Encik Zainal Abidin Suhaili (Abizai) sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak yang kelima. Beliau menerima anugerah dalam bentuk wang tunai sebanyak RM20 ribu, Watikah Penghormatan Negeri, kemudahan untuk menulis dan menyebarkan karyanya kepada pembaca, serta sepersalinan pakaian.\nManakala penerima Anugerah Penulis Sarawak (APS) Genre Novel dan Cerpen telah dianugerahkan kepada Encik Abang Median Abang Said. Beliau menerima wang tunai bernilai RM4 ribu bagi setiap satu anugerah yang dimenanginya.\nAnugerah Penulis Sarawak Genre Puisi dan Esei Kritikan pula dianugerahkan kepada Encik Ja\u2019afar Haji Hamdan. Beliau juga menerima wang tunai bernilai RM4 ribu bagi setiap satu anugerah yang dimenanginya.\nManakala Anugerah Penulis Sarawak kategori Bahasa Iban pula diberikan kepada Encik Janang Ensiring. Beliau menerima wang tunai bernilai RM4 ribu. Setiap penerima Anugerah Penulis Negeri Sarawak turut menerima Watikah Penghormatan Negeri serta sepersalinan pakaian.\nAnugerah Khas Bahasa dan Sastera pula dianugerahkan kepada Allahyarham Awang Bujang Awang Hamdan. Allahyarham yang diwakili oleh isterinya menerima wang tunai bernilai RM6 ribu, Watikah Penghormatan Negeri serta sepersalinan pakaian.\nPada tahun 2020, Urus Setia ASNS ke-10 telah menerima sebanyak 32 pencalonan bagi 10 kategori ASNS. Jumlah perincian adalah seperti berikut:\nWalau bagaimanapun, dua pencalonan APS mengikut kategori bahasa, iaitu Kategori Bahasa Inggeris dan Kategori Bahasa Cina telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat pencalonan. Manakala bagi APS Genre Skrip Drama kali ini, tiada calon yang dinilai layak menerima anugerah.\nJawatankuasa Panel Penilai ASNS ke-10 yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Sarawak telah mengadakan mesyuarat khas sebanyak dua kali untuk membincangkan secara khusus, meneliti dan menilai maklumat serta bahan karya calon. Pada ASNS ke-10, Kerajaan Negeri Sarawak telah memilih lima calon yang layak untuk memenangi tujuh kategori ASNS melalui satu upacara pengumuman penganugerahan secara dalam talian, yang telah disampaikan oleh YB Dr. Anuar Rapaee pada 6 Julai yang lalu." "Kongres Kebudayaan Kebangsaan Masih Gagal Menyatukan Masyarakat Malaysia?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Walaupun Kongres Kebudayaan Kebangsan (KKK) yang menjadi asas pada Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) sudah berusia 50 tahun, sehingga kini ia tidak pernah dilihat sebagai alat penyatuan, sebaliknya menimbulkan lebih banyak permasalahan, seperti yang dibincangkan menerusi laman Facebook Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (CENDANA), Pusaka dan jurnal Svara\u00a0malam tadi.\nPerbincangan itu yang menyentuh mengenai \u201cKongres Kebudayaan Kebangsaan: Ke Mana Selepas 50 Tahun?\u201d menampilkan tiga ahli panel, Pensyarah dan Felow Penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Mohd Faizal Musa; Pengasas dan Pengarah Pusaka, Eddin Khoo; juga artis visual, Yee I-Lan; sementara kurator bebas, Nur Hanim Khairuddin tampil sebagai pemudah cara.\nPerkara yang boleh disimpulkan dalam perbincangan itu, KKK sekali gus DKK dilihat gagal menyatukan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, manakala agama Islam dan Melayu dilihat terlalu mendominasi sehingga orang bukan Islam dan Melayu berasa terpinggir.\nHal ini disentuh oleh Mohd Faizal ketika menyebut, sastera sudah terlanjur jauh dan memberikan kesan kepada masyarakat keliling apabila Melayu dan Islam menjadi elemen penting.\nKatanya, situasi ini bermula sejak era 1920-an apabila definisi Melayu itu diperluas kepada kumpulan etnik seperti Jawa dan Bugis oleh Abdul Hadi Hassan.\n\u201cMelayu sebelum itu dirujuk pada orang Minang, Melayu dan Johor, manakala setiap etnik lain dikenali dengan kaum mereka sendiri, seperti Jawa, Bugis, Orang Kelantan dan sebagainya.\n\u201cNamun membawa semua kumpulan etnik itu di bawah definisi Melayu menenggelamkan budaya asal mereka,\u201d katanya.\nMohd Faizal berkata, Abdul Hadi menjelaskan idea itu dalam tiga jilid buku yang digunakan sejak 1920-an dan kemudiannya menjadi asas kepada pembentukan KKK. Hal ini katanya, diperkemas oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas pada tahun 1971 apabila menyarankan kedudukan Islam sebagai \u201cpoin\u201d utama dan menjadi tunjang utama dalam KKK dan DKK yang menimbulkan dilema kepada budayawan, malah mengaitkan bahasa Melayu sebagai \u201cbahasa Islam\u201d.\n\u201cPerbincangan sedemikianlah yang diwarisi oleh sastera Melayu hari ini. Hal ini menyebabkan orang bukan Melayu tidak boleh menggunakan bahasa Melayu untuk menulis mengenai kepercayaan dan kefahaman mereka.\n\u201cMasalah ini membelenggu di Malaysia dan ia berpunca daripada DKK yang berat sebelah. Hal ini juga menyebabkan sastera daripada bahasa lain, mislanya Inggeris menjadi sastera sukuan. Ia kemudiannya dianggap sebagai sastera antarabangsa apabila memenangi hadiah sastera di luar negara,\u201d katanya.\nBagi Eddin, secara jujur persoalan DKK atau KKK merupakan hal yang perlu diperkatakan kerana ia adalah sebahagian daripada realiti sejarah negara.\nNamun katanya, Malaysia tidak memerlukan sebuah polisi budaya yang semacam KKK, sebaliknya harus dibina di luar kerangka politik.\n\u201cKadang-kadang perbincangan kita tersangkut pada istilah Melayu itu. Penjajah British menjadikan Melayu seperti yang kita fahami hari ini. Mereka mencipatkan satu identiti yang jauh daripada rumpun asal mereka.\n\u201cSatu masalah kita, budaya kita banyak \u2018dibajak\u2019 oleh politik sehinggakan istilah-istilah seperti kemelayuan atau ketuanan itu sudah menjadi alat politik. Cubaan untuk melihat semula KKK pada tahun 2017 lebih memalukan dan teruk berbanding pada tahun 1971,\u201d katanya.\nTegas Eddin, politik banyak mengubah landskap budaya, seperti yang berlaku di Kelantan apabila pemerintah mengharamkan banyak aktiviti budaya yang sebenarnya menjadi asas kepada DKK itu sendiri.\nKatanya, hal itu bukan hanya menjejaskan aktiviti budaya itu sendiri tetapi hal-hal ilmiah yang mempengaruhi semangat negara bangsa anak watan.\nMalah kata Eddin, mendiang ayahnya, sejarawan Profesor Khoo Kay Kim yang turut menjadi salah seorang pembentang semasa KKK 1971 menolak DKK kerana melihatnya sudah dipergunakan oleh wacana politik.\nSementara itu, Yee I-Lan menyifatkan, KKK ialah polisi yang memperlihatkan dominasi Semenanjung di dalam Malaysia sedangkan Malaysia dibentuk oleh Semenanjung, Sabah dan Sarawak.\nKatanya, Semenanjung seharusnya memasukkan semangat Malaysia dan bukan hanya mengharapkan Sabah dan Sarawak berbuat demikian. Hal ini bermaksud, DKK harus mengambil kira masyarakat di Borneo dan budaya itu bukan hanya Melayu, Cina dan India sahaja.\n\u201cMalaysia dibentuk oleh British mengikut model pembinaan negara mereka dan ketika ini kita melihat DKK itu didominasi oleh kebudayaan Melayu,\u201d katanya.\nTonton sesi penuh wacana di sini." "Siapa yang Meminggirkan Sastera: Masyarakat atau Orangnya?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nApabila menyebut rasa sastera terpinggir, hal ini akan menyentuh perasaan ramai pihak. Daripada penggiat seni sehinggalah ketua-ketua badan tertentu. Malaysia yang kini memasuki bulan Kemerdekaan tampaknya masih dihimpit dengan persoalan ini.\nHasil daripada polemik hangat garapan Wacana Pena minggu lepas, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menganjurkan wacana bersirinya kali kelima, dengan tajuk \u201cTerpinggirkah Sastera di Malaysia?\u201d. Wacana ini berlangsung pada 13 Ogos 2021 (Jumaat) jam 9.00 malam.\nPerbincangan kali ini menampilkan dua panel jemputan, pengkritik dan pensyarah Profesor Madya Dr. Asmiaty Amat, serta penyair dan penerima SEA Write Award tahun 2000, Dr. Lim Swee Tin. Bersama-sama mereka ialah panel tetap wacana dan Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.\nKonotasi \u201csastera Malaysia terpinggir\u201d memang agak berbunyi negatif, tetapi Mohd Khair Ngadiron selaku moderator wacana memulakan bicara bahawa beliau mahu berbincang dengan jujur dan telus. \u201cKita mahu tahu, sebenarnya sastera ini untuk siapa?\u201d\nLim dan Asmiaty memberikan jawapan yang setara bahawa sastera sememangnya untuk pembaca, yang sudi memilih untuk menikmati karya-karya garapan penulis Malaysia.\nAsmiaty menyatakan, beliau percaya bahawa masyarakat Malaysia masih membaca, dan komuniti peminat sastera wujud dan berkembang. Sastera secara rumusnya adalah untuk masyarakat, dan masyarakat Malaysia pada zaman moden ini bukanlah tidak membaca, malah apa-apa yang dibaca oleh mereka juga pelbagai sekarang. Karya sastera Inggeris, karya sastera indie, mahupun arus perdana, semuanya menjadi pilihan bacaan dalam kalangan masyarakat semasa.\nPosisi Asmiaty dalam dunia pengkuliahan mahasiswa di universiti memberikan ruang kepadanya untuk memerhatikan ranah pendidikan anak belia. Hakikatnya, terdapat ramai peminat sastera yang datang daripada pelbagai latar masyarakat. \u201cPelajar saya (datang) daripada bidang kejuruteraan, bidang sains, mereka antara pelajar yang meminati bidang sastera. Jadi, kita harus memainkan peranan untuk menyatukan masyarakat ini dengan sastera,\u201d tegas beliau.\nSebenarnya, masyarakat tidak menolak sastera, tetapi mereka terhalang daripada melihat wajah penggiat sastera yang sebenar. Sastera memberikan nilai yang bobot dalam kehidupan manusia sebagai masyarakat. Maka, bagaimana caranya untuk kita tonjolkan wajah itu?\nBidang sastera sebenarnya berada dalam satu landasan, malah terdapat beberapa organisasi yang terlibat dengan kegiatan dan perkembangan kesusasteraan kebangsaan, khususnya Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Persoalannya, adakah persatuan dan organisasi yang sedia ada sudah gagal mengangkat kekuatan sastera kepada khalayak ramai? Dalam hal ini, Lim Swee Tin bersifat positif dalam gerakan dan pengurusan persatuan dan organisasi, kerana pengalaman beliau bersama-sama mereka sangat membantu dalam perjalanan kerjaya sastera beliau.\n\u201cKedua-dua persatuan dan organisasi sastera kita, saya boleh katakan memberikan tangan dan sokongan tanpa diskriminasi, malah langsung tidak menyisihkan dan meminggirkan orang sastera,\u201d jelas Lim.\nSaleeh, sebagai figura dalam persatuan sastera berpendapat bahawa sastera mendapat nilai bukanlah daripada kekecohan ataupun kehebohan polemik, tetapi daripada karya-karyanya. Perihal isu politik dalam kalangan ahli persatuan sastera, beliau memanggil aktiviti politik dalam persatuan sastera sebagai aktiviti senaman. \u201cUntuk cergas, kita kena exercise. Kalau kita senyap, ia boleh kendur dan lenyap.\u201d\nNamun untuk berpijak di bumi nyata, sastera kita setakat ini terpinggir kerana masih gagal memberikan nilai ekonomi kepada para pengkaryanya. Di Malaysia, sastera tidak memberikan pulangan ekonomi yang tinggi, kerana itu para penulisnya sukar memacu ke hadapan.\nBagi Asmiaty, meletakkan sastera sebagai platform ekonomi merupakan sebuah pilihan. Memandang sastera dari perspektif mata ekonomi semata-mata adalah menyimpangkan. \u201cSastera memberi nilai jiwa dan kemanusiaan,\u201d jelas beliau.\nBagi Lim pula, penulis harus bertolak daripada titik awal niat mereka berkecimpung dalam bidang sastera. Beliau juga tidak setuju dengan pendapat yang sastera tidak memulangkan hasil ekonomi. Secara terbuka, beliau berpendapat yang karya sastera masih memberikan pulangan kewangan. \u201cSastera tetap membina hubungan kerjasama. Jadi pengkarya yang dihargai dan menghargai, akan bekerja keras, maka hasil daripada semua itu akan mendapat pulangannya. Tetapi saya tak kata hasil sastera akan mengkayakan. Kaya pun sebenarnya subjektif, apa dan berapa yang kita maksudkan dengan kaya?\u201d\nDalam apa-apa bidang pun, yang penting ialah bekerja. Jika menulis untuk kaya, haruslah mengerjakan palma dengan penuh raga. Lim malah menggunakan istilah \u201cKita mencitrakan diri dalam kegiatan sastera kita.\u201d\nSaleeh pula berkata, kalau penulis itu berkebolehan, mereka boleh jadikan kegiatan sastera sebagai sebuah komoditi, bukan semata-mata kegiatan hobi dan sosial. Menurutnya, tiga faktor penting untuk meletakkan karya sastera dalam kegiatan ekonomi, iaitu karya itu sendiri, penulisnya dan pihak sekeliling.\n\u201cSasterawan perlu turun ke padang dan mengenalkan diri mereka kepada masyarakat. Tonjolkan diri kepada sasterawan muda, orang-orang awam, malah mereka yang tidak dekat dengan cahaya kesusasteraan,\u201d jelas Saleeh.\nAcara penutup Wacana Pena kali ini menyaksikan Mohamad Saleeh mendeklamasikan puisi kegemaran dan bualan ramai, \u201cSiti\u201d, Lim Swee Tin mendeklamasikan \u201cMenjadi Seorang Penyair\u201d, dan Mohd Khair membacakan puisi karya Rudi Mahmood.\nTonton wacana penuh di sini." "Tulisan Jawi Tanda Kebangkitan Peradaban Bangsa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSeperti kebanyakan bahasa lain di dunia yang mempunyai sistem tulisannya sendiri, Jawi ialah sistem tulisan bahasa Melayu yang sebenarnya menjadi tanda kebangkitan peradaban.\nPengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dalam Wacana Kuasai Tulisan Jawi dan Manuskrip Melayu Islam Siri 1 yang dijalankan secara dalam talian pagi ini berkata, fungsi tulisan Rencong atau Pallava yang sebelum ini dikaitkan sebagai tulisan bahasa Melayu tidak meninggalkan kesan sekuat tulisan Jawi.\n\u201cWalaupun tulisan Rencong dan Pallava banyak ditemui di batu nisan tetapi tidak sebagai tanda persuratan yang nyata.\n\u201cJawi sebaliknya tersebar di pelbagai bidang dan tulisannya ialah penanda era baharu dan kebangkitan era persuratan. Ia juga penanda Melayu sebuah bangsa besar, tidak sama dengan nasionalisme Barat yang berpetak-petak mengikut bangsa tetapi digunakan oleh semua bangsa di Alam Melayu, termasuk Jawa, Bugis dan Aceh,\u201d katanya ketika berkongsi kertas kerja \u201cJawi dalam Pembinaan Tamadun Melayu\u201d.\nTegas beliau, sistem tulisan Jawi juga melahirkan ulama besar di Alam Melayu dan lebih membanggakan tulisan ini juga digunakan oleh pendakwah Arab dalam usaha menyebarkan agama Islam.\n\u201cJawi juga digunakan untuk merekodkan hikayat lama, antaranya Hikayat Merong Mahawangsa dan Sulalatus Salatin.\n\u201cWalaupun naskhah klasik, misalnya Sulalatus Salatin itu dibauri dengan unsur mitos, namun ia tidak boleh ditolak kerana ia merakam pelbagai hal yang lebih penting seperti soal ketatanegaraan dan undang undang,\u201d katanya.\nTegas Awang, pada zaman sebelum merdeka, sistem tulisan Jawi juga digunakan dalam surat-menyurat antara sultan-sultan Melayu dengan pemimpin Barat, malah di Tanah Melayu sendiri ia digunakan oleh Kapitan Cina ketika itu, Yah Ah Loy dalam surat-menyuratnya kepada Ketua Polis Kuala Lumpur ketika itu.\nSementara itu, Prof. Emeritus Dato\u2019 Dr. Asmah Haji Omar ketika sesi soal jawab menyebut, ketika zaman kolonial, sistem tulisan Jawi kuat dipertahankan, malah antara syarat kenaikan pangkat pegawai British ketika itu ialah kemahiran penggunaan Jawi. Bagaimanapun hal itu berubah secara perlahan selepas Malaysia merdeka.\n\u201cOrang Melayu berasa sangat takut untuk menyebut Jawi sebagai tanda sistem budaya mereka. Selepas merdeka, kedudukan Jawi semakin terperosok dan kelihatannya orang Melayu terlalu banyak berkompromi hinggakan kedudukan Jawi merosot,\u201d katanya.\nUntuk rekod, Wacana Kuasai Tulisan Jawi dan Manuskrip Melayu Islam Siri 1 dianjurkan oleh Kluster Tarbiyah dan Persuratan Islam, Nadwah Ilmuan ABIM dan Akademi KDH dengan kerjasama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia dan DBP. Wacana ini akan berlangsung dalam lima siri dengan siri berikutnya akan diadakan pada bulan September hingga Disember nanti.\nDaftar borang penyertaan di sini." "Guru dari Gemas Johan Deklamasi Puisi Kemerdekaan 2021 Peringkat Negeri Sembilan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSeremban \u2013 Seorang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Gemas, Muslim Ismail, berjaya menjadi johan bagi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan 2021 Peringkat Negeri Sembilan. Beliau yang mengajar mata pelajaran Geografi serta Landskap dan Nurseri berjaya menerima hadiah berjumlah RM1000. Muslim mendeklamasikan puisi \u201cDi Halaman Nenek\u201d oleh Fairul Pujangga. Penyertaan ini merupakan penyertaan keduanya selepas pertandingan tahun lepas. Beliau bakal bertanding ke peringkat kebangsaan yang akan dijalankan pada bulan September nanti.\nSayembara deklamasi yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) ini telah berlangsung untuk kali ke-35 dengan jayanya semalam. Objektif sayembara ini diadakan untuk meneguhkan perpaduan kaum melalui pengucapan puisi, memperkasa semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia melalui pengucapan puisi, dan menyerikan kegiatan sambutan bulan Kemerdekaan pada setiap tahun melalui pengucapan puisi.\nSelain Muslim Ismail, seramai 17 orang telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Naib johan sayembara ini dimenangi oleh Huzaifah Omar (puisi \u201cLandskap Bangsa\u201d oleh Mohamad Saleeh Rahamad) yang menerima hadiah RM700 dan tempat ketiga dimenangi oleh Najmi Adli Mustafa (puisi \u201cAduhai Negaraku Permai\u201d oleh Abdul Hadi Yusoff) yang menerima hadiah RM500. Tiga pemenang sagu hati, Siti Syaidatul Amanina Kamaruddin (puisi \u201cAbadikan Kesetiaan Kita\u201d oleh Sani La Bise), Wan Mohd Husni Abdullah (puisi \u201cMilik Siapakah Tanah Ini\u201d oleh Mohd Ghazali Taib), dan Mohd Fazreen Mohd (puisi \u201cTanggam Warisan\u201d oleh Shapiai Muhammad Ramly) yang menerima hadiah RM200 setiap seorang.\nSayembara ini yang berlangsung secara dalam talian juga diselitkan dengan sesi Besogheh Darihal Berkarya bersama-sama Sasterawan Negeri Sembilan Prof. Dr. Zakaria Ali \u2013 \u201cMelukih dalam Menulih; Menulih dalam Melukih\u201d dan Besogheh Seni Warisan bersama-sama Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail. Siti Zainon Ismail turut membuat penampilan istimewa dengan mendeklamasikan puisi \u201cBonda Kandung\u201d.\nTurut hadir menyaksikan sayembara ini ialah Ketua Satu PEN, Puan Nisah Haron, penyair dan pemenang SEA Write Award Encik Zaen Kasturi dan Pengarah DBP Wilayah Tengah, Tuan Haji Hassan Alias." "Ayahanda Rapatkan Sastera dengan Rakyat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDrama bersiri adaptasi novel Ayahanda yang sarat dengan emosi mendapat tempat di hati penonton Malaysia sejak episod pertamanya disiarkan di slot Lestary TV3 pada 10 Julai (mencecah 2.5 juta tontonan). Drama ini telah melabuhkan tirainya pada 31 Julai dengan lebih empat juta tontonan. Sambutan luar biasa terhadap drama ini membuatkan ramai penonton mencari naskhah asal novel Ayahanda karya Allahyarham Azizi Haji Abdullah sehingga kehabisan stok di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan kini dicetak ulang.\nDrama ini diinspirasikan daripada novel Ayahanda\u00a0terbitan DBP oleh Allahyarham Azizi Haji Abdullah, penerima SEA Write Award (Malaysia) 1988 dan memenangi anugerah Hadiah Karya Sastera sebanyak tujuh kali. Riwayat Allahyarham Azizi turut diperkenalkan kepada penonton pada kredit akhir episod akhir drama ini.\nBagi meraikan kejayaan drama siri adaptasi Ayahanda, forum istimewa bersama peminat diadakan secara dalam talian menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada 12 Ogos (Khamis) jam 9.00 malam. Forum selama dua jam ini menampilkan \u201corang kuat\u201d di belakang tabir serta barisan pelakon utamanya, Anita Azizi, waris Allahyarham Azizi; Dato\u2019 Ahmad Tamimi Siregar, pengarah; Marr Mohammad, wakil Syarikat Zeel Production Sdn. Bhd.; penulis skrip Wan Mahani Wan Hassan dan Maizura Mohd Ederis; A. Jalil A. Hamid (Haji Abdullah); Fauziah Dato\u2019 Ahmad Daud (Hajah Noriah); dan moderator program, Mohd Hafizi Ahmad.\nMemulakan forum, Anita berkongsi tentang proses penciptaan Ayahanda daripada arwah ayah beliau yang kebanyakannya berdasarkan kisah sebenar ayahnya sendiri. Daripada cebisan kisah benar itulah dikembangkan, yang beberapa watak dalam novel tersebut memang wujud dan terdapat bahagian dan kisah yang ditokok tambah.\nAnita dan keluarganya sangat berpuas hati dengan drama adaptasi arahan Ahmad Tamimi Siregar ini kerana kedua-dua pelakon veterannya berjaya membawa watak Haji Abdullah dan Hajah Noriah dengan tepat, menyebabkan citra dan aura Allahyarham diingati semula.\nWan Mahani memberikan reaksi bahawa beliau memang berhasrat untuk mengangkat karya Ayahanda dengan baik dan memilih untuk berkolaborasi dengan Maizurah yang turut sama teruja dengan tawaran tersebut. Cabaran mengadaptasi karya ini timbul daripada cara penceritaannya kerana kisahnya disampaikan dalam fragmen-fragmen memori yang tidak mempunyai kronologi. Kedua-dua penulis skrip bertindak untuk menyeimbangkan nilai sastera dan nilai komersial, maka hanya adegan paling baik dalam novel dipilih, dialog dikembangkan, watak baharu dicipta, dan isu-isu polemik diketengahkan.\nSambung mereka, dialog Haji Abdullah dengan Hajah Noriah sengaja dikekalkan dalam bahasa Melayu biasa dan bukan dialek utara bagi menonjolkan keindahan dialog dalam karya asal. Maizurah membuat rujukan mengenai tokoh menerusi drama bersiri Ripin Mugha Batu arahan Sabri Yunus yang diinspirasikan daripada novel Jogho Yang Tewas Rohani Deraman, filem Sang Pencerah (2010), Sang Kiai (2013), dan Gandhi, My Father (2007).\nMenurut Marr Mohammad, produksi Syarikat Zeel yang lebih dominan mengangkat karya pop, buat pertama kalinya bekerjasama dengan DBP dan TV3 untuk mengangkat karya sastera. Marr yang mewakili produksi berkongsi bahawa mereka sudah lama ingin meluaskan horizon pengkaryaan dan mahu menerbitkan adaptasi karya sastera.\n\u201cKami merasakan sudah sampai masanya kami memberi kepada masyarakat. Karya-karya sastera ini sangatlah mematangkan hati dan fikiran bukan sahaja dari sudut cerita tetapi nilai murni dan mendidik masyarakat. Ini tanggungjawab kita sebagai pengkarya,\u201d katanya.\nPengarah Dato\u2019 Ahmad Tarmimi Siregar pula mengongsikan banyak cabaran yang dihadapi akibat kekangan kru kumpulan, perbelanjaan, masa, lokasi, dan persediaan kajian disebabkan oleh pandemik COVID-19. Beliau memanjatkan kesyukuran kerana banyak urusan dimudahkan sehingga berjaya menyiapkan drama ini.\nAhmad Tamimi turut memegang watak sebagai Lebai Haji Kassim dan menurut Jalil Hamid, adegan Haji Abdullah dan Haji Kassim merupakan titik mula Jalil Hamid meneruskan karakter Haji Abdullah.\nTambah Jalil Hamid sebagai pelakon utama, itulah kali pertama beliau memegang watak seorang imam sepanjang dunia lakonannya. Kenangan yang tidak dapat dilupakannya dalam pembikinan drama ini adalah ketika adegan tersekat di laut untuk menggerakkan bot sepanjang 40 kaki dengan penumpang empat orang. \u201cKebetulan, saya anak nelayan, jadi saya gunakan sedikit kelebihan untuk menggerakkan bot tersebut.\n\u201cLakonan bukan hanya \u2018buat\u2019, tetapi kajian watak (perlu dibuat) dan perhaluskan perwatakan watak,\u201d katanya.\nMenurut Fauziah Dato\u2019 Haji Ahmad Daud atau Ogy, ketika membaca beberapa helaian skrip awal, terbit rasa merinding dan ada sesuatu yang berlaku dalam sanubarinya. Atas sebab itu, beliau membaca terus-menerus skrip 13 episod itu sehingga akhir. Baginya, kualiti skrip yang baik itu diterima sepenuhnya tanpa bantahan kerana rasa, jiwa dan roh karyanya amat hidup. Pelakon pemenang Festival Filem Malaysia ini memegang watak Hajah Noriah yang sangat berbeza dengan personaliti dirinya. Hal ini menjadi cabaran baginya. Namun begitu, beliau tetap berjaya menjadi Hajah Noriah, menjiwai perasaan dan minda tua pranyanyuknya. Fauziah turut gembira kerana melalui karya ini, orang seni dapat juga berdakwah.\n\u201cMelalui Ayahanda, saya dapat membuktikan bahawa seni lakon ialah seni yang sangat mahal harganya,\u201d katanya.\nTonton forum penuh di sini." "Zaheera Ibrahim Juara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Negeri Kedah 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAlor Setar \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara dengan kerjasama Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) komited melaksanakan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Negeri Kedah (SDPK) 2021 secara dalam talian. Pertandingan ini merupakan acara tahunan yang dilaksanakan pada setiap tahun untuk memilih peserta yang akan mewakili negeri ke Sayembara Deklamasi Puisi Peringkat Kebangsaan 2021.\nSeramai lapan orang peserta yang terdiri daripada latar kerjaya yang berbeza telah mengambil bahagian untuk menonjolkan bakat masing-masing. Namun begitu, hasil penelitian hakim, johan sayembara deklamasi kali ini disandang oleh Zaheera Ibrahim. Anak kelahiran Sungai Petani ini mempertaruh puisi \u201cCitra Jiwa Merdeka\u201d karya Abdul Karim Gullam untuk memikat hati para hakim.\nNaib johan disandang oleh Mohamad Hakimi Mohamad Rejab menerusi puisi \u201cSegugus Ingatan Rubaiyat Bangsa\u201d karya Shamsudin Othman. Manakala tempat ketiga disandang oleh M. Shahadat Ali Nordin yang menyampaikan puisi berjudul \u201cMenjadi Laksamana\u201d karya Zainal Abidin Haji Suhaili ataupun Abizai.\nZaheera Ibrahim selaku johan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1000, piala pusingan, piala iringan, buku dan sijil, diikuti dengan tempat kedua dan ketiga yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM700 dan RM500, piala iringan, buku dan sijil.\nTurut hadir memeriahkan acara dan memberikan sokongan kepada peserta ialah Encik Shahizan Affandi Zakaria, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah (PPAK), Encik Rahimi Arifin, Pengarah DBP Wilayah Utara dan Tuan Haji Abu Hassan Morad, Ketua Satu ASASI. Semoga SDPK dapat menarik minat dan menjadi platform bagi warga negeri Kedah menonjolkan bakat-bakat baharu dalam bidang deklamasi puisi.\nTonton persembahan penuh acara sayembara di sini." "Kebangkitan Gelombang Feminisme Penulis Wanita Sabah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu \u2013 Penganugerahan Sasterawan Negeri Sabah ke-2 baru-baru ini menjadi polemik yang hangat diperkatakan kerana wujud pertikaian oleh beberapa pihak dan individu yang kurang senang dengan pengiktirafan yang diberikan kepada Azmah Nordin. Pertikaian ini menggeladak kerana Azmah bukan anak kelahiran Sabah. Namun demikian, amatlah malang jika seseorang penulis yang sudah berpuluh tahun menetap di Sabah tidak diiktiraf jasa, kredibiliti dan kualiti sasteranya.\nSesiapa sahaja sedia maklum akan sumbangan Azmah kepada masyarakat dalam pembentukan penulis muda tanah air. Azmah sering membimbing para penulis pemula, terutamanya di seluruh Malaysia secara percuma. Penerima SEA Write Award itu juga telah mengambil peranan secara individu dalam usaha memasyarakatkan rakyat tentang sastera sekali gus membuktikan bahawa peranan itu bukanlah tertakluk atau disandarkan sepenuhnya pada persatuan semata-mata.\nTerbukti, usaha Azmah tidak sia-sia kerana ramai kalangan anak didiknya, telah memenangi pelbagai sayembara dan anugerah, hingga mencapai peringkat kebangsaan.\nPemilihan dan pengiktirafan kepada Azmah adalah berdasarkan merit yang wajar mengikut kriteria yang ditetapkan oleh urus setia. Malah, panel penilainya terdiri daripada mereka yang mempunyai kedudukan dan pengalaman dalam perkembangan sastera di Sabah. Inilah kewajaran yang melayakkan Azmah Nordon, seorang insan yang banyak berjasa dalam persuratan kotemporari diketepikan.\nHal ini juga merenung kembali buah bicara yang diungkapkan oleh Dr. Rem Dambul, \u201cSastera patriaki di Sabah yang ketinggalan zaman selama tiga dekad telah runtuh selepas Azmah Nordin dianugerahi Anugerah Sasterawan Negeri Sabah ke-2.\u201d\nMaksud tersirat sebalik kata-kata Rem Dambul itu umpama sindiran halus yang mengejutkan gerakan sastera Sabah yang tidur-tidur ayam agar kembali berketak. Jika diamati, terbukti 70 peratus keaktifan penulisan di Sabah adalah dalam kalangan penulis wanita dan baki 30 peratusnya baru penulis lelaki. Barangkali inilah yang dimaksudkan oleh Rem Dambul.\nKeakuan dan sokongan terhadap pengiktirafan yang dianugerahkan kepada Azmah ini didukung oleh sekumpulan penulis wanita yang sering menjadi tenaga penggerak terhadap sastera Sabah, antaranya termasuk Ruhaini Matdarin, Rita Robert Rawantas, Kathirina Susanna Tati, Dayangku Mastura, Faridah Abdul Hamid, dan Welnee Joykin. Atas inisiatif dan kepekaan mereka juga telah berlangsung bual bicara bersama Azmah Nordin pada 15 Ogos yang lalu secara langsung di laman Facebook Rita Robert Rawantas.\nBual bicara yang dikelolakan oleh Ruhaini Matdarin itu, telah membuka banyak ruang dan memancing banyak sokongan serta pendapat daripada penonton.\n\u201cSastera jalan memberi kebaikan. Jika dibisukan polemik ini, ibarat membiarkan pohon getah ditoreh dan susunya diambil oleh orang lain. Selepas 30 tahun, muncul Azmah Nordin sebagai Sasterawan Sabah. Bakat itu ada di mana-mana. Suatu hari mungkin berada di negeri lain. Maka tidak terbatas karya seseorang penulis hanya di negeri kelahirannya,\u201d ujar Faridah Abdul Hamid.\n\u201cTidak wajar pertikaian kenegerian kerana bukan daripada kelahiran Sabah. Sedangkan Azmah berkahwin, menetap dan melahirkan anak-anak Sabah. Sastera sepatutnya menyatukan rakyat. Jika wujud sastera bersyaratkan negeri, maka sastera sudah menjadi satu garis pemisah,\u201d jelas Kathirina Susanna Tati.\nManakala Dayangku Mastura pula berpendapat, \u201cTidak semestinya dengan memiliki sarjana, fikiran akan berubah. Ada yang tiada sarjana tetapi mempunyai etika dan lebih pandai mengawal emosi dan ego. Kelayakan sarjana bukan ukuran terhadap sesuatu pengiktirafan. Mengapa harus dipertikaikan? Ada manusia tidak melihat cermin, tetapi sering melihat orang lain sedangkan mereka tidak melihat dirinya sendiri.\u201d\nBual bicara santai dan bersahaja itu secara tidak langsung dilihat sebagai satu perjuangan menuntut dan mengangkat hak feminisme para penulis wanita yang sering diremehkan. Bersesuaian pula dengan identiti kepengarangan Azmah yang menjadi kemestian bagi mengungguli emansipasi wanita dalam karya-karyanya.\nDemikian, berkarya sewajarnya menjadikan manusia lebih baik kerana sastera ialah agen penyatuan ummah. Justeru, isu kenegerian tidak wajar membunuh dunia sastera. Tambahan pula, perjuangan para penulis wanita memartabatkan sastera wajar diambil serius kerana perkahwinan sering membunuh penulis wanita. Lalu, mengapa harus diperkecil sebilangan mereka yang berjuang untuk terus hidup dalam lembaran selepas membina perkahwinan? Bual bicara berakhir dengan lontaran semangat oleh Azmah Nordin yang menyatakan, \u201cBakat tidak akan mati dan perkahwinan tidak membunuh semangat berkarya.\u201d\nTonton bual bicara penuh di sini." "E-Buku Interaktif Bahasa Melayu Tingkatkan Penguasaan Penutur Asing Dewasa dan Ekspatriat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNegara Malaysia semakin mendapat perhatian daripada dunia luar bagi tujuan ekonomi atau pelaburan. Hal ini termasuklah dari aspek bahasa dan kepelbagaian budaya dalam kalangan warganegara asing dan pelancong di Malaysia. Oleh itu, bahasa Melayu sewajarnya memainkan yang peranan penting untuk menghubungkan penutur asing dengan penduduk tempatan. Menerusi penggunaan bahasa Melayu ini, penutur asing dapat berinteraksi dan merasai keramahan rakyat Malaysia.\nBerdasarkan Laporan Perangkaan Demografi 2021, komposisi penduduk bukan warganegara ialah sebanyak 2.65 juta orang (8.1 peratus). Statistik Transaksi Perkhidmatan Kaunter Jabatan Imigresen Malaysia 2020 pula menunjukkan bahawa jumlah warganegara asing daripada golongan profesional yang memasuki Malaysia melalui pelbagai pas atau permit pada tahun 2020 ialah 343 357 orang. Daripada jumlah tersebut, warganegara asing yang berstatus ekspatriat atau pegawai dagang pula berjumlah 119 293 orang, tidak termasuk jumlah pasangan atau anak masing-masing. Peluang yang terbuka ini perlu diraih untuk memperkaya dan memperkasakan bahasa Melayu dalam kalangan penutur asing yang berada di Malaysia.\nEkspatriat atau pegawai dagang ditakrifkan sebagai bakat atau pakar asing yang bekerja dalam industri tertentu seperti yang digariskan dalam Program Transformasi Ekonomi Kerajaan Malaysia. Pegawai ini ialah pekerja kontrak yang berada di Malaysia dalam tempoh beberapa tahun yang biasanya turut membawa pasangan dan anak untuk menetap di Malaysia. Ekspatriat dan pasangannya ini kebanyakannya berminat untuk mempelajari bahasa Melayu sepanjang bekerja dan menetap di Malaysia.\nBagi penutur asing dewasa ini, kejayaan memahami serba sedikit perkataan harian dalam bahasa Melayu merupakan suatu perkara yang penting sebagai tanda hormat kepada Malaysia sebagai negara tuan rumah yang sudi membenarkan golongan ini bekerja dan menetap di Malaysia. Kebolehan berbahasa Melayu menjadi sangat penting apabila penutur asing ini perlu berkomunikasi dengan penduduk tempatan dalam urusan harian atau melancong, terutamanya ketika pergi ke daerah atau kampung yang lain.\nPada abad ke-21 ini, penggunaan teknologi digital sudah tidak asing lagi kerana menjadi wadah penting dalam kehidupan harian. Penggunaan bahan interaktif digital melalui perisian, media sosial dan internet adalah antara usaha untuk meningkatkan kemampuan berkomunikasi dalam bahasa Melayu oleh penutur asing. Namun begitu, wujud satu cabaran besar dalam penggunaan bahan interaktif ini.\nMenurut Juwariah Osman dan rakan-rakan dalam makalah \u201cStrategi Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu kepada Penutur Asing: Pendekatan Teknologi (Apps) dan Program Pengukuhan Berdasarkan Model Kolb\u201d, walaupun banyak aplikasi telah dibangunkan dalam pasaran digital seperti Google Translator dan Malay Lingo, pembangunannya tidak berasaskan sukatan pelajaran bahasa Melayu yang tepat dan prinsip pembelajaran bahasa asing.\nSeterusnya, bagi Nuraihan Mat Daud dalam makalah \u201cPenggunaan Teknologi dalam Pengajaran Bahasa\u201d, penggunaan e-buku bersama-sama laman sesawang dalam pengajaran bahasa Melayu masih kurang di Malaysia. Bilangannya terlalu terhad dan tidak dapat diandalkan, selain tidak meluas jika dibandingkan dengan laman sesawang yang serupa dalam pengajaran bahasa Inggeris. Hal ini menjadi satu cabaran besar yang perlu diatasi oleh penyelidik yang ada di Malaysia.\nBagi menyahut cabaran ini, satu kajian telah dilaksanakan oleh Akademi Bahasa, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor, terhadap sebuah buku digital atau e-buku interaktif bahasa Melayu yang bertajuk Learn Malay with Rene. Buku ini ialah buku panduan bagi penutur peringkat pemula. E-buku tersebut dilengkapi dengan pelbagai elemen interaktif dan ciri multimedia untuk menarik minat penutur asing serta membantu golongan ini mempelajari bahasa Melayu.\nPeserta kajian pula adalah dalam kalangan penutur asing dewasa yang terdiri daripada komuniti kecil ekspatriat yang menetap di Kota Iskandar, Johor Bahru. Ekspatriat atau pegawai dagang ini berasal dari negara Eropah dan Asia, seperti Jerman, Rusia, Belanda, Denmark, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Iran, Algeria, India dan Jepun. Dalam kajian ini, peserta terlebih dahulu perlu memuat turun e-buku ini secara dalam talian menerusi peranti seperti telefon pintar, tablet atau komputer, dan dipindahkan ke dalam format tertentu, sama ada PDF, EPUB, MOBI, atau dipindahkan ke dalam peranti e-buku Kindle agar fungsi dan ciri interaktifnya dapat beroperasi dengan sepenuhnya.\nHasil kajian telah membuktikan bahawa penutur asing dewasa menggemari reka bentuk interaktif yang terdapat dalam e-buku Learn Malay with Rene, selain cirinya yang mudah diakses di mana-mana tempat dan pada bila-bila masa sahaja. Penutur asing dewasa ini juga mendapati bahawa penggunaan pemudah klik ke rangkaian multimedia lain sangat bermanfaat ketika mempelajari bahasa Melayu. Dengan hanya menggunakan rangkaian pemudah klik pada e-buku tersebut, penutur asing dewasa ini dapat memperoleh penerangan atau maklumat lebih lanjut tentang sebutan bahasa Melayu dalam bentuk audio dan video pembelajaran.\nDi samping itu, menerusi rangkaian pautan ke laman sesawang lain seperti YouTube, penutur asing dewasa ini dapat menonton pelbagai pilihan lagu, drama dan filem Melayu, sekali gus dapat meningkatkan lagi minat penutur asing terhadap bahasa Melayu.\nPenemuan lain yang sangat menarik dalam kajian ini adalah apabila penutur asing dewasa yang terdiri daripada golongan ekspatriat ini berasa seronok dan teruja sebagaimana kanak-kanak apabila menggunakan e-buku yang menyediakan pelbagai unsur grafik yang lucu dan menarik, serta paparan skrin yang berwarna-warni. Golongan ekspatriat ini juga beranggapan bahawa e-buku tersebut sangat menghiburkan ditambah pula dengan permainan interaktif seperti permainan belit lidah, kad imbas dan kuiz, serta rangkaian ke laman sesawang kartun.\nDalam era globalisasi ini, sudah tiba masanya supaya penghasilan bahan penerbitan dalam bahasa Melayu dipergiat dan penyebarannya diperluas ke dalam pelbagai bentuk teknologi digital. Sehubungan dengan itu, usaha menghasilkan e-buku interaktif sewajarnya mendapat sokongan semua pihak demi memartabatkan bahasa Melayu di seluruh dunia." "Keupayaan Penulis Menzahirkan Pengajaran dalam Penulisan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKita sedang melalui tahun-tahun yang mencabar akibat pandemik COVID-19 yang melanda, bukan hanya negara kita tetapi di seluruh dunia sejak lebih setahun lalu. Antara cabarannya termasuklah dari aspek kesihatan, ekonomi dan pelaburan, pendidikan juga tidak terkecuali, begitu juga aspek pembangunan sosial dan masyarakat.\nNegeri Johor juga kini berdepan dengan kemelut dan kesan daripada \u00a0pandemik COVID-19. Maka itu, kita perlu merenung dan melihat bagaimana keadaan semasa yang kita tempuhi ini terkandung hikmah dan rahsia-Nya yang besar.\nInsya-Allah, saya yakin dan percaya bahawa para penulis mempunyai ilham serta idea yang bernas untuk melahirkan sebanyak mungkin karya kreatif yang kritis dan berkualiti dalam kita mendepani \u00a0pelbagai cabaran, termasuklah cabaran COVID-19.\nSememangnya, Kerajaan Negeri Johor akan mengiktiraf sumbangan dan juga jasa para penggiat karyawan dan penulis Johor. Bagi mengukuhkan lagi kedudukan Anugerah Sastera Johor ke-12 ini, Kerajaan Negeri Johor telah menambah, sebagai contoh, hadiah wang tunai pada kategori dan genre terpilih. Malahan, kategori yang diberi pengiktirafan juga turut ditambah. Pengiktirafan ini secara tidak langsung akan membuka peluang yang lebih besar kepada para karyawan dan penulis untuk mengetengahkan bakat dan kualiti penulisan masing-masing.\nPada majlis Anugerah Sastera Johor ke-12 ini, Kerajaan Negeri Johor berbesar hati untuk mengiktiraf perjuangan anak jati Johor dalam bahasa, sastera dan persuratan. Sehubungan itu, Anugerah Sastera Johor mengangkat seorang tokoh dalam persuratan dan kesusasteraan, sebagai penerima Anugerah \u00a0\u00a0\u00a0Tokoh Penggiat Sastera Johor, iaitu Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan. Penganugerahan ini, berkat usaha dan konsistensi beliau dalam perjuangan mengangkat dan memartabatkan bahasa kebangsaan, tanpa mengira konteks perubahan. Syabas kepada Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan. Usaha dan keringat perjuangan yang dicurahkan selama ini sungguh besar ertinya \u00a0kepada kita semua. Perjuangan beliau wajar diteladani oleh semua pihak.\nKerajaan Negeri Johor akan sentiasa mendapatkan pandangan untuk \u00a0menambah baik pengiktirafan supaya lebih bersifat menyeluruh. Hal ini secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada penulis untuk lebih prolifik dalam bidang tersebut.\nSebuah bangsa berjaya ialah mereka yang membaca. Sebuah karya yang berjaya akan menjadi tatapan pembaca tanpa mengira era dan masa. Inilah yang dinamakan karya terbaik sepanjang zaman. Justeru, seseorang penulislah yang akan mencorakkan pemikiran pembaca, dan kini medan penulisan semakin terbuka luas serta tiada batas sempadan. Namun, had etika dan tanggungjawab karya akan menjadi pengukur penting bagi nilai kematangan serta sisi positif sesebuah hasil penulisan.\nUmum mengetahui bahawa Johor telah melahirkan ramai penulis dan \u00a0karyawan yang tersohor. Sejarah juga membuktikan pemikir Johor pernah \u00a0menjadi pencetus kepada beberapa agenda besar pada peringkat negeri \u00a0dan nasional. Negeri Johor telah mengabadikan nama-nama mereka, seperti Raja Ali Haji, Tun Seri Lanang, Munsyi Abdullah, Munsyi Ibrahim, Mejar Mohd. Said Sulaiman, Sasterawan Negara Usman Awang, Khadijah Hashim, Adibah Amin, Zaharah Nawawi, dan ramai lagi. Bukti ini menzahirkan bukti bahawa ramai tokoh dari tanah permata selatan ini merupakan pencetus perjuangan bahasa, pemikir, cendekiawan, budayawan, dan sejarawan.\nKepada anak-anak muda, jadikanlah bidang penulisan ini sebagai platform untuk menyampaikan serta meluahkan hasil karya yang kreatif dan kritis. Gunakanlah kecanggihan teknologi dan keupayaan kita masa kini untuk menyampaikan pengajaran yang baik kepada semua masyarakat, khususnya dalam kita mendepani cabaran pandemik COVID-19 yang belum lagi berpenghujung.\nAkhir sekali, dengan lafaz bismillahirahmanirrahim, saya merasmikan Anugerah Sastera Johor kali ke-12 bagi tahun 2021 secara dalam talian pada petang ini.\n_________________________\nTeks ini diubah suai daripada teks ucapan YAB Datuk Haji Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor bagi Majlis Perasmian dalam Talian Anugerah Sastera Johor ke-12 pada 8 Ogos 2021 di Media Sosial Yayasan Warisan Johor." "Hikayat Panglima Nikosa: Antara Novel Melayu Terawal di Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Novel yang berusia 145 tahun ini, dihasilkan secara cetakan litografi pada 30 Jun 1876 di Bukit Persinggahan, Kampung Boyan, Kuching Sarawak. Novel karangan Ahmad Syawal Abd. Hamid ini telah ditemui tersimpan di Rhodes House Library of Oxford, England oleh Sarawak Literary Society dalam simpanan Sir Hugh Low yang pernah bekerja dengan James Brooke sebelum dilantik menjadi Residen Perak pada tahun 1877. Inilah novel yang menjadi tanda transisi pergerakan daripada sastera lisan kepada sastera bertulis dalam era perkembangan kesusasteraan moden di Sarawak, berkisah tentang sebuah realiti kehidupan yang dikonstruksikan.\nHikayat Panglima Nikosa mengisahkan cerita seorang pemuda bernama Nikosa, diminta oleh ayahnya untuk mempertahan negeri daripada serangan pihak musuh. Ancaman pihak musuh menimbulkan rasa ketakutan kepada rakyat. Akibatnya, mereka tidak berani keluar rumah dan tidak dapat melakukan rutin harian secara aman sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi. Ketakutan yang mencengkam hidup rakyat mengakibatkan seorang demi seorang penduduk berpindah ke negeri lain. Justeru, timbul kebimbangan daripada ayah Nikosa yang pada ketika itu merupakan seorang ketua dalam negeri tersebut.\nMaka, berlakulah beberapa siri peperangan yang diketuai oleh Nikosa menentang pihak musuh dan akhirnya pasukan di bawah kepimpinan pemuda tersebut berjaya menumpaskan musuhnya. Kejayaannya menjadi buah mulut masyarakat kerana kebijakan dan kepimpinan Nikosa yang adil dan saksama, malah menjadi rujukan orang luar. Pemikiran Nikosa yang panjang dan terkehadapan tentang nasib dan masa depan orang-orang kampung dibuktikan dengan kejayaan pemuda itu mendirikan kampung baharu.\nNikosa mendahului kepentingan rakyat daripada kepentingan peribadinya. Dia tidak akan berfikir tentang masa depannya sehinggalah segala urusan pembangunan kampung atau negeri selesai. Setelah itu, barulah Nikosa berkahwin dengan seorang anak menteri bernama Jalilah yang rupawan dan jelitawan, lalu mereka dikurniakan dua orang anak lelaki dan seorang anak perempuan.\nPengarang Ahmad Syawal Abd. Hamid ialah tokoh sasterawan Melayu moden dan ternama di Sarawak. Ketokohannya pernah digambarkan oleh Margaret Brooke (1903) sebagai seorang yang berwibawa, baik hati, mudah berkawan dan murah hati, serta berpengetahuan dalam bidang sastera. Malah, beliau disifatkan sebagai \u201ca cultured man\u201d, seorang lelaki budiman yang halus budi pekertinya.\nMenurut Dr. Jeniri Awang, Ketua Pegawai Eksekutif New Sarawak Tribune dan SV News Sdn. Bhd., melalui bual bicara dalam Program Bicara Pusaka Bangsa Siri 2, \u201cMembaca tulisan Ahmad Syawal adalah sama seperti membaca gagasan pemikiran, wawasan, kearifan, serta sikap etnosentrisme dan etnonasionalismenya melalui teks dan wacana hikayat itu. Novel tersebut merupakan suatu usaha dokumentasi terhadap sejarah perkembangan tamadun Melayu, yang menggambarkan realiti sosioekonomi, kemajuan dan perkembangan masyarakat di Kuching, Sarawak pada akhir abad ke-19. Melalui siri-siri kajian yang dilakukan, Jeniri mengklasifikasikan hikayat ini kepada beberapa bahagian. Antaranya, termasuklah plot yang menggambarkan unsur individualisme pengarangnya. Hikayat ini mengangkat semangat zamannya di samping menampilkan mancawarna masyarakat tempatan pada masa itu. Juga terlihat cerminan hierarki sosial dan bayangan atau refleksi tahun-tahun sebelum pengarang menulis. Hal ini bererti, kisah tulisan Ahmad Syawal ini tentunya ditulis pada tahun-tahun terdekat sebelum hikayat itu dicetak.\nWatak Nikosa digambarkan sebagai pemimpin yang berhati lurus, suci dan terbilang. Namun begitu, nama \u201cNikosa\u201d sebenarnya agak asing dalam kalangan masyarakat di Sarawak. Tiada nama Nikosa yang dijumpai dalam realiti kehidupan masyarakat di Sarawak pada ketika itu hingga kini. Persoalannya, siapakah Nikosa dan dari manakah pengaruh bahasa terhadap kata nama itu muncul? Karakter Nikosa juga digambarkan sebagai ketua medan perang atau ketua di kampung yang empati dan prihatin kepada rakyat dalam novel ini. Bahkan, Nikosa ialah watak pemberani, unggul, ikhlas dan bijaksana.\nPanel kedua dalam program bicara ini, Dr. Fatimah Hj. Subet, pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak pula mengupas wacana ini dari sudut bahasa, dan mengambil pendekatan semantik inkuisitif melalui kemahiran relevan untuk mencari kesan terhadap konteks kajian falsafah pemikiran pengarangnya. Dr. Fatimah menegaskan dari sudut etimologi, terdapat perubahan pada makna kata tentang nama Nikosa. Menurut pandangan beberapa orang sarjana, nama Nikosa tiada dalam dialek Melayu Sarawak. Justeru, berkemungkinan wujud pengaruh bahasa Arab dalam sentuhan nama tersebut. Dalam daftar bahasa Arab, Nikosa diambil daripada perkataan asalnya, \u2018naqsun\u2019 melalui huruf nun, qaf dan shad, yang membawa erti \u201cberkurang\u201d. Pun demikian, hal ini masih belum dapat dibuktikan kesahihannya.\nDalam hal ini, Fatimah memetik pandangan Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi, Jabatan Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya yang menyatakan bahawa terdapat unsur bahasa Yunani pada nama Nikosa tersebut (Nikolas). Hal ini kerana pengaruh bahasa asing amat biasa dalam masyarakat Melayu peribumi yang bersifat sejagat. Andaian-andaian ini memunculkan pelbagai persoalan yang harus dibuktikan dari sudut teoretikal dan analisis bahasa. Pada akhirnya, Fatimah menjumpai kajian numerologi dari Indonesia yang menjelaskan maksud Nikosa, iaitu seseorang yang menuntut keistimewaan, mempunyai bakat seni, atau seseorang yang tidak pernah letih, bertanggungjawab, melindungi, merawat, bermasyarakat, seimbang, dan simpati.\nJuga ditemukan beberapa istilah dan simpulan bahasa dalam teks karangan hikayat tersebut, seperti \u201cangkat-angkat bujang\u201d, \u201clepak\u201d dengan sebutan e pepet, \u201cmulang\u201d, \u201clemantak\u201d (pengaruh Melanau), dan \u201cmengayau\u201d (pengaruh Iban dan Kenyah). Justeru, aspek kejelasan dari sudut kajian bahasa ini membuktikan Hikayat Panglima Nikosa sememangnya berlatarkan negeri Sarawak.\nDiharap Hikayat Panglima Nikosa yang ditulis dalam laras bahasa Melayu klasik bertulisan Jawi ini mendapat pengiktirafan UNESCO kerana naskhah ini merupakan naskhah besar yang mengubah sejarah perkembangan novel Melayu di Malaysia.\nWacana yang berlangsung pada 12 Ogos (Khamis) jam 10.00 pagi ini boleh ditonton di sini.\u00a0Beli kajian dan teks novel Hikayat Panglima Nikosa di sini." "Karya Sastera Terjemahan: Mengangkat Budaya dan Citra Dua Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pernah disuarakan bahawa penterjemahan karya sastera menjadi lesu dan kurang diberikan perhatian oleh para penterjemah kerana kerjanya yang dianggap begitu sukar dan rumit.\nNamun begitu, penterjemahan karya sastera daripada bahasa Cina kepada bahasa Melayu ternyata berlangsung dengan giatnya, terutama melalui kerjasama yang termeterai antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Pusat Kebudayaan Han Malaysia (HAN).\nSejak menandatangani memorandum perjanjian kerjasama, DBP dan HAN telah berjaya menerbitkan beberapa judul buku terjemahan seperti Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah (Jilid I hingga Jilid IV), Maharaja Yongzheng: Perebutan Takhta Sembilan Putera dan Antologi Cerpen Mahua (Siri I hingga Siri IV).\nSebagai usaha mempromosikan kandungan karya dan menyemarakkan pembacaan karya sastera terjemahan, empat siri bicara karya sastera terjemahan bakal berlangsung setiap bulan, bermula pada Ogos dan berakhir pada November 2021.\nBicara karya terjemahan akan dimulakan dengan Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah (Ogos), Di Mana Ranting Dipatah (September), Maharaja Yongzheng: Perebutan Takhta Sembilan Putera (Oktober), dan Purnama Batu Jed (November).\nBuku terjemahan Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah dan Maharaja Yongzheng: Perebutan Takhta Sembilan Putera diterbitkan oleh DBP, manakala Di Mana Ranting Dipatah dan Purnama Batu Jed ialah karya terbitan Pusat Kebudayaan Han Sdn. Bhd.\nMenurut Presiden HAN, Dato\u2019 Goh Hin San, \u201cPersatuan Penulis China melalui Kelab Pembaca Sastera China Malaysia (KPSCM) akan turut terlibat dalam menjayakan siri bicara sastera terjemahan, yang juga diadakan bersempena ulang tahun DBP ke-65.\u201d\nDato\u2019 Goh turut memaklumkan, program siri bicara sastera terjemahan ini akan dimasukkan dalam senarai kegiatan yang mengisi Dekad Membaca Kebangsaan (DMK).\nBicara karya sastera terjemahan yang julung kali diadakan secara bersiri setiap bulan ini juga bertujuan untuk menggalakkan orang ramai membaca buku yang diterbitkan dalam bahasa Melayu.\nSelain menjadi ruang untuk menghayati karya sastera terjemahan, program tersebut juga menjadikan sastera sebagai jambatan yang menjalinkan hubungan dalam kalangan pembaca sastera di Malaysia, khususnya dalam menghayati karya klasik mahupun kontemporari dari China yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu.\nSecara tidak langsung, kandungan karya yang menjadi mauduk bicara akan menjadi obor yang menyerlahkan budaya dan identiti dua negara, Malaysia dan China, yang telah menerbitkan karya terjemahan tersebut.\nAcara sulung akan berlangsung pada Selasa, 17 Ogos 2021 pukul 8.00 malam. Sebelum tirai wacana bicara buku dibuka, akan diadakan majlis pelancaran program Siri Bicara Buku Sastera Terjemahan yang akan disempurnakan oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.\nYang akan turut serta bersama-sama Ketua Pengarah DBP ialah Presiden HAN, Dato\u2019 Goh Hin San, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Zainal Abidin Borhan dan Pengerusi Persatuan Penulis China, Tie Ning serta beberapa ahli jawatankuasa Persatuan Penulis China.\nMajlis yang diadakan secara dalam talian itu akan disiarkan ke seluruh dunia melalui pelantar digital DBP seperti jendeladbp.my, TV DBP dan Radio DBP, termasuk media sosial DBP seperti Instagram, Twitter, Facebook, Telegram, YouTube dan Tiktok.\nProgram majlis pelancaran juga boleh ditonton melalui laman Facebook Pusat Kebudayaan Han Malaysia dan Yayasan Karyawan Malaysia.\nProgram bicara buku yang bertajuk \u201cTitian Sastera: Bicara Buku Sastera Terjemahan China\u201d yang digerakkan oleh Kelab Pembaca Sastera Malaysia-China dengan kerjasama DBP, HAN dan Yayasan karyawan Malaysia akan dimulakan dengan perkongsian tentang karya Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah.\nProjek penerbitan Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah versi bahasa Melayu yang terbit dalam empat jilid, telah bermula pada tahun 2018. Proses penterjemahan buku ini memakan masa selama beberapa tahun sebelum berjaya dihasilkan oleh beberapa ahli Persatuan Penterjemahan Malaysia dan Penulisan Kreatif Malaysia.\nSlot pertama siri bicara buku sastera terjemahan bertemakan \u201cMimpi Rumah Agam Merah dari Perspektif Pertukaran Masyarakat, Keluarga, Cinta dan Budaya Malaysia\u201d. Sesi pembukaan ini akan dikendalikan oleh Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong dari Universiti Sains Malaysia (USM) selaku moderator.\nBersama-sama beliau ditampilkan tiga ahli panel, iaitu editor bebas, Zaleha Ahmat, pengasas Pusaka, Eddin Khoo dan pensyarah dari Beijing Foreign Studies University, Dr. Han Xiao.\nBagi menarik minat khalayak, pihak penganjur turut mengadakan Pertandingan Resensi Buku Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah dengan menawarkan hadiah pertama bernilai RM1000, hadiah kedua RM700, hadiah ketiga RM500 dan tiga hadiah sagu hati masing-masing bernilai RM300." "Pustakawan Menongkah Cabaran Transliterasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Koleksi manuskrip yang tersimpan di Perpustakaan Peringatan Za\u2019ba, Universiti Malaya (UM) bertujuan untuk menyokong penyelidikan dan pembelajaran di UM. Terdapat sebanyak 326 judul yang merangkumi pelbagai bidang kesusasteraan, pensejarahan, perubatan tradisional, teks agama, kanun, petua, cerita rakyat, syair, dan pantun. Setakat ini, kebanyakannya telah didigitasikan untuk disebarluaskan dan memudahkan pengkaji mengakses manuskrip Melayu lama.\nBerikutan berkuat kuasanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 yang melanda Malaysia, para pustakawan telah mengambil inisiatif agar manuskrip yang tersimpan tidak terbiar begitu sahaja. Ratnawati Sari Mohamad Amin, Timbalan Ketua Perpustakawan dan juga Ketua Bahagian Arkib dan Repositori, ketika membentangkan laporannya yang bertajuk \u201cManuskrip Melayu di Perpustakaan Universiti Malaya\u201d dalam Webinar Manuskrip Melayu Citra Mahawangsa menjelaskan, bermula tahun 2019, para pustakawan di Perpustakaan Universiti Malaya telah melaksanakan kerja-kerja mentransliterasi manuskrip Melayu lama.\n\u201cHikayat Penerang Hati\u201d, \u201cHikayat Raja Budiman\u201d dan \u201cSyair Ikan Teroeboek\u201d merupakan antara manuskrip yang telah selesai ditransliterasi.\n\u201cKandungan manuskrip yang telah ditransliterasikan boleh disebarluaskan kepada pembaca yang tidak boleh membaca Jawi, malah dengan adanya kaedah sebegini akan meningkatkan lagi jumlah bilangan pembaca,\u201d jelas beliau.\nRatnawati Sari merupakan salah satu daripada 15 orang pembentang laporan dalam webinar yang berlangsung pada 17 Ogos 2021 (Selasa), jam 9.00 pagi anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka.\nWebinar Manuskrip Melayu Citra Mahawangsa yang bertemakan \u201cCabaran dan Masa Depan Manuskrip Melayu\u201d diadakan bertujuan untuk mengumpulkan data dan maklumat berkaitan manuskrip Melayu yang terdapat di seluruh negara. Malah, webinar yang dianjurkan secara dalam talian ini telah menemukan beberapa institusi, universiti dan pakar bidang dalam manuskrip Melayu dari dalam dan luar negara. Perasmi bagi webinar ini ialah YBhg. Profesor Datuk Seri Haji Awang bin Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka merangkap Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia." "Prestij Agung Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengorak langkah positif apabila menterjemahkan H\u00f3ngl\u00f3um\u00e8ng (Dream of the Red Chamber), atau kini dikenali dalam bahasa Melayu sebagai Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah. Karya agung yang dinukilkan oleh Cao Xueqin ini merupakan sebuah daripada Empat Novel Klasik Cina terpenting dalam sejarah panjang kesusasteraan Cina.\nHikayat Mimpi Rumah Agam Merah lahir daripada proses penterjemahan yang gigih dalam tempoh beberapa tahun. Penerbitannya yang terdiri daripada empat jilid berlaku secara berfasa, bermula pada tahun 2018, yang keseluruhannya mengandungi 120 bab.\nSebagai usaha untuk mengajak masyarakat Malaysia membaca karya klasik agung dari negara China yang telah diterjemahkan dalam bahasa Melayu, DBP dan Persatuan Kebudayaan Han Malaysia (HAN) mengadakan siri bicara buku sastera terjemahan China. Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah menjadi buku pertama yang berlangsung pada 17 Ogos 2021 pukul 8.30 malam, sejurus selepas majlis perasmian Titian Sastera: Bicara Buku Sastera Terjemahan China oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Haji Abang Sallehuddin Abang Shokeran.\nHikayat Mimpi Rumah Agam Merah (HMRAM) merupakan novel berbentuk drama yang memaparkan kisah suka duka dan jatuh bangun sebuah keluarga bangsawan yang mengalami zaman kejatuhan. Novel yang menyentuh perasaan ini berlatarkan sejarah dan sosiobudaya masyarakat yang disulami peristiwa yang penuh ketegangan serta penampilan watak yang hebat, seperti Jia Baoyu dan Lin Daiyu. Semua itu menjadi rencah yang meninggalkan kesan yang mendalam kepada sesiapa sahaja yang membaca kisah klasik China ini. Yang turut menjadikan novel ini menarik ialah paparan protes golongan muda terhadap sekatan yang dikenakan oleh sistem feudal dalam soal percintaan.\nBicara karya yang berlangsung selama satu jam setengah ini dikemudikan oleh pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong. Bersama-sama dengan beliau ialah tiga ahli panel, iaitu pensyarah dari Beijing Foreign Studies University, Dr. Han Xiao, editor bebas, Zaleha Ahmat, dan pengasas Pusaka, Eddin Khoo. Dr. Goh membuka bicara dengan kata-kata, \u201cKarya sastera menggambarkan tamadun dan akal budi sesuatu bangsa. Karya terjemahan pula sebagai titian yang menghubungjalinkan masyarakat dari pelbagai negara yang terlibat menterjemahkan karya dalam bahasa negara masing-masing, lantas mewujudkan persefahaman dan keharmonian.\u201d\nDr. Han Xiou yang dikenali dengan nama Melayunya, Dr. Indah, menerangkan bahawa HMRAM ditulis berdasarkan kisah benar yang berlaku dalam sejarah China. \u201cOleh sebab itulah, HMRAM ini mempunyai nilai kesusasteraan yang tinggi dan diakui sebagai karya sastera klasik agung milik negara China.\u201d\nAspek lain yang menjadikan HMRAM sebuah karya yang berbeza daripada karya sastera yang lain ialah sifatnya yang mirip sebuah ensiklopedia sosiobudaya serta alur kisah dan jalan ceritanya yang sangat indah dan menyentuh perasaan.\n\u201cKarya ini juga sarat dengan misteri atau rahsia yang harus diteroka oleh pembaca dan diselidik oleh pengkaji sastera,\u201d ulas Dr. Han yang mengakui HMRAM sebuah karya agung yang menyaingi karya klasik Barat.\nEditor buku HMRAM, Zaleha Ahmat, berkongsi pengalaman menyunting karya terjemahan yang menurut beliau bukan satu kerja yang mudah. Perbezaan budaya dan sifat karya yang kompleks menjadi cabaran paling hebat dalam proses menyunting manuskrip HMRAM. Hal ini bertambah mencabar kerana HMRAM diterjemahkan oleh lima penterjemah, yang setiapnya menghasilkan gaya bahasa terjemahan yang berbeza.\n\u201cSaya perlu menyelaraskan kesemua hasil terjemahan oleh lima penterjemah dengan menetapkan satu piawaian supaya penyuntingannya selaras, di samping mengekalkan laras bahasa klasik yang disesuaikan dengan zaman moden agar karya terjemahan versi dalam bahasa Melayu itu menarik dari segi bahasa dan kosa katanya,\u201d ujar Zaleha.\nBagi membantu beliau memahami karya yang berlatarbelakangkan sosiobudaya negara China zaman feudal ini, Zaleha membina rajah atau susur galur bagi menandakan nama watak dan konflik yang dialami oleh watak yang berbeza peranan, status dan kedudukan, ditambah dengan nama yang begitu asing dengan latar dirinya yang berbangsa Melayu.\nSebagai budayawan, Eddin Khoo memperkatakan elemen seni dan budaya yang terdapat dalam HMRAM. Sebelum itu, Dr. Goh dan Dr. Han menyatakan HMRAM sebuah karya yang luar biasa kerana menyajikan pembaca dengan lebih kurang 400 bait puisi yang disulami dalam teks penceritaan. Jadi, dalam memperkatakan puisi yang begitu banyak dalam HMRAM, Eddin Khoo menyatakan puisi sudah digunakan dalam karya prosa sejak tiga dan empat ratus tahun dahulu. Puisi juga merupakan salah satu alat yang menandakan peralihan zaman, dari masa lampau hingga masa kini.\n\u201cHebatnya HMRAM kerana mengungkapkan sejarah dan budaya zaman lampau dalam masyarakat China sebagai sebuah dunia kayangan menggunakan puisi. Selain itu, perasaan watak dalam HMRAM juga diluahkan menggunakan puisi, yakni penggunaan aksara yang disusun indah dan penuh makna,\u201d ujar Eddin.\nAspek lain yang menjadi bahan kupasan ialah alat susastera yang menunjangi penulisan HMRAM, khususnya perlambangan dan metafora, perkaitan sesuatu objek dengan pemikiran dan budaya masyarakat, misalnya kaitan antara makanan dengan budaya masyarakat China, dan titik persamaan antara Malaysia dengan China yang dilihat pada penggunaan herba (China) dan jamu (Malaysia). Akhir sekali, disentuh soal kisah cinta tiga segi dan pertentangan ideologi politik yang mewarnai konflik cerita HMRAM.\nSememangnya dalam kesusasteraan klasik Cina, HMRAM merupakan salah satu karya agung yang tidak ternilai seni sasteranya, selain amat berpengaruh dan tersebar luas. Watak dan perjalanan episod dalam HMRAM juga diketahui oleh hampir segenap lapisan masyarakat Cina sepanjang zaman.\nPada bahagian pengenalan novel HMRAM, dipaparkan catatan pengarangnya yang menyatakan, HMRAM ialah novel paling agung dalam sejarah kesusasteraan Cina, malah seolah-olah tidak ada sebarang karya klasik yang mampu menjangkau kecemerlangan novel ini. Oleh sebab itulah, bicara karya HMRAM melabuhkan tirainya dengan pernyataan bahawa jika kesusasteraan sebagai cerminan jiwa sesuatu bangsa, maka HMRAM dianggap karya yang tidak kurang pentingnya dalam pembentukan jiwa bangsa. Sehingga kini, HMRAM telah diterjemahkan dalam beberapa bahasa, seperti bahasa Inggeris, Jepun, Korea, Perancis, Rusia, dan Sepanyol.\nTonton bicara buku Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah di sini.\nBeli Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah Jilid I, Jilid II, Jilid III dan Jilid IV. Bagi versi kulit keras, sila layari katalog buku kami.\nBerita Berkaitan |\nKarya Sastera Terjemahan: Mengangkat Budaya dan Citra Dua Negara" "Pembentukan Istilah Sastera Perlu Memenuhi Keperluan Sezaman\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSastera tidak akan pudar dengan adanya penelitinya, pencintanya dan pengarangnya. Begitu juga pakar bidang yang terdiri dalam kalangan ahli akademik, yang sekali gus mempunyai kepakaran tertentu dalam genre sastera Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai badan bahasa, sastera dan penerbitan yang dari dahulu hingga kini mengusahakan pembentukan istilah untuk pelbagai bidang ilmu, termasuklah bidang sains dan teknologi.\nOleh itu, menerusi rancangan Cakna Ilmu: Peka Bahasa \u201cMemperkasakan Istilah Kesusasteraan\u201d pada 17 Ogos 2021 (Selasa) telah menampilkan Dr. Shamsudin Othman, pensyarah kanan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan beberapa kupasan yang berkait tentang pembentukan istilah sastera dan cabaran pembentukan istilah dari kaca mata para peneliti sastera. Menurut Dr. Shamsudin Othman, \u201cIstilah sastera yang dibentuk itu perlu memenuhi keperluan sezamannya atau keperluan semasa.\u201d\nSesuatu penggunaan istilah walau diterima pakai oleh ramai orang bukanlah bermakna ia dapat digunakan dengan sewenang-wenangnya .\nDS: Apakah yang membezakan konsep perkataan dan konsep istilah dalam pengertian biasa?\nSesetengah masyarakat pada masa kini ada yang keliru antara konsep perkataan dengan istilah sastera. Perkataan ialah sesuatu himpunan kata yang digunakan oleh masyarakat awam dan bersifat umum atau apa-apa sahaja yang digunakan dalam penulisan atau komunikasi seharian. Manakala dalam bidang linguistik pula, istilah terbina daripada penelitian pakar atau para peneliti bidang tersebut. Namun begitu, apabila menjelaskan konsep istilah secara spesifik, haruslah dikelompokkan untuk bidang ilmu tertentu dengan memiliki makna yang tepat, mempunyai fungsi serta tahap keabsahan yang tinggi.\nDS: Bagaimanakah terbinanya istilah dalam sastera?\nDalam pembentukan istilah, ada beberapa langkah yang perlu dipatuhi. Pertama, perlulah mencari kata akarnya atau kata jati asli dalam sesuatu masyarakat atau komuniti. Selain itu, kosa kata bahasa Melayu bukan sahaja terikat untuk negara Malaysia semata-mata, tetapi juga hubungan serantau (negara lain dalam rumpun Melayu) yang menjadi sumber perolehan istilah baharu dalam bidang sastera. Misalnya, mengambil kira istilah yang diguna pakai di Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam dan Thailand, yang akhirnya dikatakan sebagai kata akar asli Melayu.\nKedua ialah keterbukaan dan tidak terikat dengan perkataan sedia ada. Bahasa itu hidup dan kaya, dan penerimaan istilah daripada bahasa asing merupakan sesuatu yang normal bagi perkembangan dan kelangsungan bahasa Melayu. Hal ini bukan bermakna bahasa Melayu itu miskin atau kurangnya kosa kata, tetapi penerimaan kosa kata itu dapat disesuaikan dengan perkembangan dan situasi semasa. Pembentukan istilah baharu juga barangkali boleh berlaku semasa proses transliterasi, seperti penemuan istilah yang jarang-jarang kita dengar tetapi didokumentasikan dalam manuskrip terdahulu.\nKetiga ialah pengubahsuaian sesuatu istilah. Misalnya dahulu tiada lagi diciptakan istilah \u201ccerno\u201d, tetapi pada zaman seterusnya telah diguna pakai istilah tersebut. Cerno ialah akronim yang merujuk \u201ccerpen\u201d dan \u201cnovel\u201d. Cerno telah dibuktikan melalui hasil karya Sasterawan Negara S. Othman Kelantan untuk karyanya Nagogho Astana, dan Anwar Ridhwan untuk karyanya Naratif Ogonshoto. Kedua-dua karya ini dikatakan oleh peneliti sastera sebagai cerpen atau novel, atau kumpulan cerpen yang melengkapi untuk menjadi sebuah novel.\nDS: Apakah cabaran-cabaran pembentukan istilah baharu dalam sastera?\nCabaran utama ialah menentukan kesepakatan dan penerimaan bersama antara semua pihak, termasuklah para peneliti sastera, sarjana sastera dan komuniti yang menyelami dunia perkembangan sastera. Penerimaan istilah ini juga disepakati secara harmoni tanpa adanya penafian terhadap penolakan yang berlaku. Contohnya, kita mengambil istilah dalam bahasa Inggeris, iaitu \u201cfolklore\u201d yang merujuk cerita rakyat. Namun, ada sesetengah peneliti sastera berpandangan bahawa istilah ini merujuk sastera rakyat, buku rakyat dan hikayat. Pertembungan pandangan ini akhirnya diputuskan dalam perbahasan dengan mengambil kira keputusan bersama dalam rangka konsep kesarjanaan dan pembuktian terhadap makna, takrifan atau \u201csaintifik makna pada bidang\u201d yang boleh dipertanggungjawabkan kepada pembinaan sesuatu istilah tersebut.\nDS: Kenapakah penggunaan istilah bahasa Melayu klasik banyak mempengaruhi istilah dalam sastera pada masa kini?\nUntuk konteks ini, kita meletakkannya dalam istilah \u201carkaik\u201d yang bermaksud istilah-istilah lama atau perkataan asli Melayu yang pada masa kini masih sesuai lagi penggunaannya. Dato\u2019 Rahman Shaari bersama-sama beberapa orang penulis misalnya telah menghasilkan kamus arkaik, dengan mengambil sumber istilah daripada Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa, dan sebagainya. Contohnya, perkataan \u201czulmat\u201d yang bermaksud gelap gelita atau keadaan sesat tanpa hidayah. Dan, perkataan ini perlu dihidupkan semula fungsi maknanya bagi tujuan memperkaya kosa kata bahasa Melayu, tanpa adanya istilah daripada bahasa asing sebagai pengganti pada istilah yang sedia ada.\nDS: Bagaimanakah peranan yang boleh dimainkan oleh guru untuk memanfaatkan istilah sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran bahasa Melayu pada masa kini?\nPenerbitan buku Glosari Istilah Kesusasteraan inilah sebagai salah satu panduan dan pedoman untuk membantu para guru dan pelajar di sekolah mendapatkan rujukan berautoriti, selain daripada capaian internet menerusi laman sesawang tertentu sebagai rujukan pantas. Namun begitu, tidak semua istilah yang tersebar dalam laman sesawang atau media sosial itu terbukti kesahihan dan keabsahan takrifnya. Oleh hal yang demikian, sesuatu penggunaan istilah walau diterima pakai oleh ramai orang bukanlah bermakna ia dapat digunakan dengan sewenang-wenangnya (khususnya dalam konteks pendidikan).\nDS: Apakah pandangan Dr. tentang penggunaan bahasa rojak?\nAspek utama ini bergantung pada masyarakat yang memahami konsep jati diri. Pengaruh luar yang tersebar ini diperlihatkan dapat memberikan dua kesan langsung kepada masyarakat. Pertama, mewujudkan kekayaan istilah sains, teknologi, perubatan atau bidang tertentu. Kedua, penggunaan yang tidak terkawal yang mengakibatkan kemerosotan dan kehilangan kualiti bahasa Melayu yang sekali gus menghilangkan identiti jati diri sebagai warga Malaysia.\nDS: Apakah yang dimaksudkan dengan istilah \u201ckarya\u201d?\nIstilah \u201ckarya\u201d berasal daripada bahasa Sanskrit, yang bermaksud \u201cteks\u201d. Karya juga boleh ditakrifkan sebagai produk yang dihasilkan oleh pengarang dan milik peribadi kepada pencipta teks asal. Misalnya, karya disebut sebagai karya puisi, cerpen atau novel. Ada juga karya yang ramai penulisnya, dan hal ini dikenali sebagai karya bersama. Menurut Glosari Istilah Kesusasteraan, \u201ckarya\u201d merujuk sesebuah buku yang ditulis oleh pengarang.\n_________________________\nTonton bual bicara di sini." "PDM Pergiat Usaha Pemuliharaan dan Pemeliharaan Manuskrip Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Manuskrip Melayu merupakan hasil karya tulisan tangan para ilmuwan zaman dahulu. Kehadirannya terserlah sebagai warisan khazanah ilmu dan lambang peradaban bangsa. Koleksi khazanah Melayu ini bukan sekadar termuat dalam lakaran sejarah dan perkembangan penulisan bahasa Melayu, malah menjadi wahana utama dalam pembentukan kearifan tempatan dan sosiobudaya rakyat Malaysia pada masa kini dan akan datang.\nSehingga kini, Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) Dewan Bahasa dan Pustaka telah berjaya mengumpul dan mendokumentasikan lebih 300 judul manuskrip yang meliputi beberapa bidang, seperti bidang bahasa, kesusasteraan Melayu, ilmu perubatan tradisional dan kitab agama. Walau bagaimanapun, koleksi manuskrip Melayu PDM tidak dapat disimpan dengan kemudahan perkakasan dan peralatan penyimpanan yang baik dan teratur mengikut piawaian antarabangsa dalam pendokumentasian koleksi manuskrip. Hal ini disebabkan oleh kekangan kewangan, ruang yang terhad, dan ketiadaan tenaga mahir dalam kerja mendokumentasikan koleksi manuskrip.\nUntuk tujuan tersebut, PDM telah melaksanakan sebuah Bengkel Pemuliharaan dan Pemeliharaan Manuskrip Melayu pada 18 Ogos 2021 (Rabu), jam 9.30 pagi bersama-sama dengan pakar bidang, iaitu Dr. Ros Mahwati Ahmad Zakaria, Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia.\nRos Mahwati menegaskan bahawa pegawai yang bertanggungjawab perlu memahami terlebih dahulu kaedah dalam pengurusan koleksi manuskrip. \u201cAda enam perkara atau asas yang perlu diketahui, iaitu manuskrip, fasiliti, sumber manusia, prosedur operasi rasmi (SOP), ilmu dan kewangan.\n\u201cSetiap manuskrip yang keluar atau masuk ke bangunan penyimpanan perlu dibuat pemeriksaan fizikal. Hal ini bertujuan untuk memastikan manuskrip berkenaan adalah objek yang telah disenaraikan, memastikan ia dalam keadaan stabil atau lengkap, dan memastikan ia selamat daripada sebarang serangga yang boleh menjangkiti koleksi sedia ada,\u201d kata beliau.\nJelas Ros Mahwati lagi, manuskrip merupakan objek budaya bersifat organik yang terdedah pada risiko kerosakan, sama ada kecil atau besar. Faktor kerosakan pula terbahagi kepada empat, iaitu alam, manusia sendiri, serangga, dan sistem pengurusan yang tidak sesuai.\nMelalui bengkel tersebut, semua pembantu pemuliharaan di Unit Jilid PDM dan beberapa orang pustakawan yang terlibat dalam pendokumentasian koleksi manuskrip PDM diberi tunjuk ajar tentang kaedah terbaik untuk merawat naskhah yang mengalami kerosakan fizikal. Dengan adanya kemahiran dalam pengendalian manuskrip, maka koleksi manuskrip yang terdapat di PDM dapat dirawat daripada sebarang kerosakan, malah dapat dirujuk oleh penyelidik tempatan dan antarabangsa, seiring dengan perkembangan ilmu terkini." "Ziarah ASASI ke Rumah Sasterawan Negara Shahnon Ahmad\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSik \u2013 Pada 7 Ogos 2021, Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) telah mengambil inisiatif meletakkan papan tanda Kediaman Sasterawan Negara Allahyarham Profesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Haji Shahnon bin Ahmad di kampung Banggol Derdap, Sik Kedah. Pada masa yang sama, semua pihak yang hadir juga mengambil inisiatif untuk melawat serta membersihkan kawasan sekitarnya.\nTuan Haji Abu Hassan Morad selaku Ketua 1 ASASI telah melaksanakan upacara memasang papan tanda tersebut pada jam 10.00 pagi bersama-sama AJK ASASI dan beberapa orang penduduk setempat. Pihak ASASI berhasrat dengan adanya papan tanda itu, orang ramai khasnya pengunjung Pekan Sik mengetahui tentang kediaman dan lokasi rumah Sasterawan Negara ke-2, Allahyarham Shahnon Ahmad itu. Secara tidak langsung, Pekan Sik juga akan memperoleh manfaatnya.\nAbu Hasan Morad juga berkata, beliau akan mengambil inisiatif meminta kerjasama Majlis Daerah Sik untuk memasukkan lokasi kediaman Sasterawan Negara itu sebagai salah satu tempat yang mesti dikunjungi oleh para pelawat di dalam kalendar tempat-tempat menarik Daerah Sik, Kedah. Lagipun, seni bina rumah tersebut yang masih utuh dan cantik mampu menggamit kedatangan pelawat untuk melihatnya. Dengan usaha ini, ASASI berharap agar dapat memberikan penghormatan yang sepatutnya kepada Sasterawan Negara yang telah mengangkat daerah Sik dalam karya-karya beliau ke persada dunia.\nLanjutan daripada aktiviti tersebut, Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama ASASI akan mengadakan Program Wacana Dato\u2019 Dr. Haji Shahnon bin Ahmad berserta majlis pelancaran Buku Biografi Sasterawan Negara. Program tersebut dirancang akan dilaksanakan di kediaman tersebut pada 2 Oktober 2021.\nProgram ini merupakan langkah optimis demi mengangkat status ketokohan Shahnon atas sumbangan besarnya dalam ilmu kesusasteraan dan kemanusiaan, sekali gus memperkasa nilai kepengarangan tanah air. Diharapkan dengan aktiviti dan program sebegini, sumbangan Allahyarham terus kekal dalam ingatan masyarakat, khususnya generasi muda yang mendatang. Semoga kediaman tersebut dan sumbangan Allahyarham Shahnon Ahmad tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan. Al-Fatihah." "Nilai Intelektual Satira Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPusat Sejarah Rakyat menganjurkan webinar \u201cDari Sindiran ke Satira: Bahasa Satira di Malaysia\u201d pada 17 Ogos 2021 (Selasa). Acara menampilkan Fairuzzaman Shaharuddin sebagai pembicara dan Dr. Alina Abdullah, pengkritik sejarah seni sebagai pengulas bicara.\nFairuzzaman membahaskan topik satira melalui perbincangan linear, bermula daripada perkembangan sejarah awal satira kepada penyampaian karya satira kontemporari di Malaysia, khususnya yang berkaitan dengan perkembangan arus politik dan sosial tempatan.\n\u201cSaya melihat satira ini sebagai satu hidangan penuh, dalam satu pinggan, banyak jenis makanan yang tersedia, tidak terbentuk secara konkrit. Boleh dijumpai dalam bentuk teater, kartun, penulisan dan sebagainya,\u201d Fairuz mejelaskan maksud satira yang beliau garap selepas membuat kajian dalam kerangka political theory of dissent (teori politik berkenaan pertentangan).\nPada tahun 1970, perkataan satira mula dimasukkan dalam Kamus Dewan, namun penggunannya dihadkan kepada \u201cnovel satira\u201d. Fairuz namun menegaskan, budaya dan masyarakat Melayu memang menggunakan kiasan dan sindiran sejak era pementasan sandiwara dan penulisan karya hikayat lagi. Selepas kajian dan pembacaan lanjut, Fairuz memperoleh dapatan bahawa \u201ckarya kiasan\u201d yang dihasilkan dalam tradisi Alam Melayu bertujuan untuk mengejek dan mencela kekuasaan.\n\u201cSeloka, jenaka dan kias banyak digunakan dalam teks tradisional Melayu,\u201d tambah beliau.\nKedudukan dan perkembangan kegiatan satira di Malaysia mula menapak pada era kebangkitan nasionalisme sebelum pendudukan Jepun di Malaya, lalu terus merancak sehingga sekarang.\nPada awal tahun 1960-an, ketika kerajaan dalam usaha rancak merapatkan perpaduan \u00a0sesama kaum dan rakyat, Fairuz membahas kejayaan kartunis Lat, \u201cLat melalui kartun-kartun beliau yang sangat terkenal, menyentuh isu-isu sosial, dengan cara jenaka, untuk merapatkan lagi perpaduan sesama kaum dan rakyat, tetapi pada masa yang sama, turut menyindir isu sosial dan politik antarabangsa.\u201d\nMembezakan konsep satira dan sindiran yang diamalkan oleh karyawan Melayu dahulu, Fairuz menyatakan sindiran dan kiasan Melayu biasanya berusaha untuk menjaga air muka, manakala satira pula berkedudukan sebaliknya.\n\u201cSatira bertujuan untuk memomokkan. Di samping mengeji, satira juga berperanan untuk merosakkan imej,\u201d ujar beliau.\nTegas beliau lagi, satira juga boleh menjadi platform untuk mengumpul pengetahuan dan pendapat awam perihal politik, serta menyediakan ruang umum untuk mengenal ranah politik semasa dan juga berdialog dengannya.\nMenurut Dr. Alina pula, dalam konteks satira, ada perbezaan mengkut jenis produksinya. Bagi beliau, satira seni rupa yang lebih halus perlambangannya ialah jenis karya satira yang berperanan penting dalam perkembangan satira sesebuah negara.\n\u201cSaya tak meletakkan perbezaan seni sastera secara hierarki (seni kartun, seni rupa), namun satira dalam seni rupa memberikan peluang kebebasan ekspresi untuk para karyawan, malah karya begini memerlukan kemampuan yang berdaya lebih tinggi untuk khalayak membaca maksud dan perlambangan dalam karya satira mereka.\n\u201c\u2018Perupa\u2019 (karyawan seni rupa) biasanya akan melepaskan tangan, membiarkan penerima atau khalayak mentafsirkan sendiri. Kadang-kadang, perupa lebih suka berahsia tentang karya mereka. Membolehkan mereka berkarya dengan lebih bebas dan selamat,\u201d jelas Alina.\nKarya satira memerlukan konteks, mengikut arus politik dan situasi yang berlaku di sekeliling masyarakat. Fairuz mengambil contoh keluaran novel Kawin-kawin\u00a0karya Azizi Haji Abdullah. Novel ini sebenarnya sebuah karya satira yang membahas halus tentang suasana politik dan sosial ketika itu. Namun kerana lambat diterbitkan, masyarakat dan khalayak ramai susah untuk menerima mesej satiranya, sekali gus hampir tidak berjaya menyampaikan mesej satiranya kepada khalayak.\nAlina bersetuju dengan kepentingan keupayaan karyawan atau \u201csatirawan\u201d untuk menyampaikan karya mereka kepada khalayak mengikut konteks, selaras dengan masa dan arus. Malah, beliau menambah bahawa kekuatan seni juga mampu ditingkatkan jika dibangunkan secara kolektif.\n\u201cSecara kolektif, mereka lebih berani, juga mempunyai sokongan yang lebih kuat. Wilayah Sabah dan Sarawak sebenarnya mempunyai beberapa kolekif seni yang kuat dan kritis terhadap perkembangan politik, seperti karya yang dihasilkan oleh Pangrok Sulap.\u201d\nTonton bicara penuh di sini." "Menghidupkan Kembali Cerita Lipur Lara dalam Imaginasi Abad Ke-21\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Makmal Kemanusiaan Digital, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menganjurkan wacana 1st Biennial Conversations tentang cerita rakyat Asia Tenggara semalam, dengan tema \u201cCerita Lipur Lara Malaysia Abad ke-21\u201d. Acara yang julung-julung kalinya diadakan itu berlangsung secara maya menggunakan pelantar Zoom, dan membariskan para pembentang serta panelis, seperti Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, pengarang Dr. Anita Harris Satkunananthan, serta pengkarya AdiFitri Ahmad, Zen Cho dan Dr. Suraya Md. Nasir atau nama penanya, Jon Suraya.\nDalam ucapan pembukaan, Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris, Dr. Tanja Jonid menyatakan hasratnya untuk meneruskan peranan jabatannya melalui kerangka pengetahuan Islam dalam usaha menganalisis karya kesusasteraan berbahasa Inggeris. Analisis tersebut tidak hanya tertumpu pada karya-karya kanun (canons) dari Amerika, Eropah dan dunia Islam, tetapi juga meliputi lingkungan sastera Asia Tenggara, selaras dengan keberadaan budaya UIAM sendiri.\nPenyelaras acara, Dr. Wan Nur Madiha Ramlan dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa program bicara ini, serta kajian Makmal Kemanusiaan Digital dalam subjek lipur lara Malaysia amnya, adalah bertitik tolak daripada kesedaran untuk melestarikan warisan lisan yang semakin ditelan zaman.\nSekiranya beberapa dekad yang lalu terdapat banyak saluran yang mengangkat cerita lipur lara sehingga menjadi sebahagian daripada psike generasi terdahulu, apresiasi yang sama tidak lagi wujud dalam kalangan masyarakat pada hari ini. Justeru, program bicara ini secara khususnya berhasrat untuk membuka ruang untuk membincangkan hal ini dengan lebih meluas dan mendalam.\nAcara diteruskan dengan pembentangan pertama oleh Dr. Anita Harris Satkunananthan, atau nama penanya Nin Harris dari Universiti Kebangsaan Malaysia bertajuk \u201cA Practice-Based Feminist Revisioning of Otherworldly Women in Malay Hikayats\u201d. Dalam pembentangannya, Dr. Harris telah membincangkan pengadaptasian dan pengambilan ciri-ciri tertentu daripada cerita lipur lara Melayu dalam penciptaan karya baharu. Secara khusus, beliau memfokuskan kepada penginterpretasian semula watak-watak wanita, seperti Puteri Bertujuh dalam Ulek Mayang\u00a0dan puteri-puteri dalam Hikayat Raja Muda.\nWatak-watak ini lazimnya watak sampingan, atau nama watak puteri hanya dinyatakan tanpa diberikan peranan yang lebih besar dalam perjalanan cerita lipur lara berkenaan. Maka, Dr. Harris sebagai pengarang telah mengangkat watak-watak ini dan memberikan suara kepada mereka dalam karya fiksyen sains dan fantasinya. Rekaysanya terhadap teks lama tersebut menjadi salah satu citra cerita lipur lara abad ke-21, yang bukan sahaja menyumbangkan kemandirian serta kelestarian kisah-kisah itu sendiri, tetapi juga mewujudkan kesinambungan pada tatacara kehidupan kontemporari.\nSeterusnya, Prof. Muhammad Haji Salleh membentangkan \u201cThe Relevance and Wisdom of Folklore\u201d dengan mengemukakan pelbagai contoh cerita lipur lara yang dikumpulnya daripada pengamatan selama berdekad-dekad. Muhammad menegaskan bahawa cerita lipur lara bukanlah hiburan rakyat semata-mata tetapi mengandungi pelbagai pengajaran penting yang diwariskan oleh nenek moyang sesuatu bangsa itu sendiri. Oleh itu, sekiranya certa lipur lara luput daripada korpus pemikiran sesuatu bangsa, termasuklah bangsa Melayu di Malaysia, maka mereka akan turut kehilangan kearifan orang terdahulu.\n\nSelepas sesi rehat, acara diteruskan dengan sesi bicara santai dengan dua orang pengkarya dan penulis yang menggunakan cerita lipur lara sebagai subjek atau inspirasi dalam karya mereka. Pengkarya berkenaan ialah AdiFitri Ahmad yang telah menghasilkan komik trilogi Taubat Si Tanggang, Zen Cho seorang pengarang berpangkalan di United Kingdom, dan pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Suraya Md. Nasir, pengkarya komik Jejon di Jepun. Zen Cho telah menyunting antologi cerpen Spirits Abroad serta menghasilkan novel Black Water Sister dan The Order of the Pure Moon Reflected in Water, selain novelet/cerpen panjang If at First You Don\u2019t Succeed, Try, Try Again\u00a0yang mentafsir semula legenda imugi dalam cerita lipur lara Korea.\nMereka telah berkongsi pengalaman dalam proses mengadaptasi cerita-cerita lipur lara dalam bentuk karya kontemporari, sekali gus membayangkan masa hadapan yang cerah terhadap usaha melestarikan warisan berharga ini.\nTonton wacana penuh di sini.\nBeli komik Taubat Si Tanggang di sini. Beli novel Zen Cho, Black Water Sister dan The Order of the Pure Moon Reflected in Water." "Mengiktiraf dan Memartabatkan Bahasa Etnik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTanjung Malim \u2013 Hari Bahasa Ibunda Borneo (HBIB) 2022 yang julung-julung kalinya diadakan di Atrium, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), melibatkan penyertaan dua buah negara, iaitu Malaysia dan Brunei Darussalam. Sambutan ini diadakan untuk menyokong program Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa yang disambut pada 21 Februari pada setiap tahun di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, disebabkan oleh pandemik yang masih melanda negara pada masa itu, HBIB 2022 ditunda hingga kelmarin.\nHBIB 2022 yang bertemakan \u201cPemupukan Bahasa Ibunda dalam Pendidikan dan Masyarakat\u201d merupakan program anjuran Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI, dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent, IPG Kampus Rajang dan Universiti Brunei Darussalam (UBD).\nBahasa etnik atau pribumi, khususnya bahasa Kadazandusun, Iban dan Dusun Brunei semakin terancam apabila penutur dalam kalangan generasi muda kurang menggunakan bahasa tersebut dalam pertuturan seharian mereka.\nHBIB 2022 menggariskan empat objektif utama, iaitu memartabatkan bahasa etnik Kadazandusun, Iban dan Dusun Brunei sebagai warisan negara Malaysia dan Brunei, menggerakkan kreativiti mahasiswa UPSI, IPG Kampus Kent, IPG Kampus Rajang dan UBD dalam usaha menjadi agen perubahan dalam pelbagai disiplin ilmu khususnya pendidikan, mewujudkan penghayatan hakikat budaya ilmu yang sebenar melalui proses pengalaman, pengamatan dan perbincangan dalam aktiviti berorganisasi dan memantapkan kemahiran insaniah mahasiswa terutamanya dalam kerja berpasukan dan kepemimpinan.\nTerdapat pelbagai aktiviti kebahasaan dan kebudayaan yang dianjurkan sepanjang HBIB 2022 berlangsung yang antara tujuannya adalah untuk menyemai dan memupuk rasa cinta, menghargai dan menggunakan bahasa serta budaya masing-masing. Antara pertandingan tersebut termasuklah pidato, bercerita, masakan tradisional, peragaan pakaian tradisional, puisi tradisional dan sketsa komedi. Sambutan yang diterima daripada mahasiswa keempat-empat institusi pengajian tersebut juga sangat menggalakkan.\nHBIB 2022 yang berlangsung kelmarin telah dirasmikan oleh Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI, Prof. Madya Dr. [email\u00a0protected] Muhammad. Dalam ucapan perasmiannya, beliau mengatakan bahawa program ini sangat penting kerana bahasa etnik juga dapat membantu memperkukuh bahasa Melayu dan mengayakan kepelbagaian budaya rakyat Malaysia secara umumnya.\nSambutan ini turut berlangsung secara hibrid dan rakamannya boleh ditonton melalui Facebook Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI." "Cerita Panji Menambat Hati Masyarakat Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJakarta \u2013 Cerita panji yang berasal dari Jawa telah berkembang sehingga ke Nusantara pada abad ke-12 Masihi. Cerita-ceritanya malah terkenal dan tersebar sehingga ke serata negara Asia, seperti Thailand, Vietnam dan Myanmar. Umumnya, cerita yang berlegar daripada satu masyarakat kepada satu masyarakat di Jawa itu telah diolah ke dalam pelbagai bentuk kesenian seperti seni rupa, seni sastera dan seni pertunjukan, mengikut penerimaan masyarakat setempat dan peredaran zaman.\nApabila mendengar atau membaca cerita panji, sudah pasti dua nama yang cukup tersohor melekat dalam kotak fikiran. \u201cUnsur-unsur kejawaan terserlah dengan pengekalan nama wira dan wirawati, iaitu Raden Inu Kertapati dan Raden Galuh Cendera Kirana. Tambahan pula, cerita panji tidak terlepas daripada tema kepahlawanan, keberanian dan kasih sayang. Kasih sayang tidak hanya terbatas kepada sesama manusia tetapi juga kepada Tuhan. Jadi, tidak hairan apabila senario yang seumpama itu dipaparkan menyebabkan masyarakat Melayu turut menyenanginya,\u201d ujar Dr. Noriah Mohamed.\nDr. Noriah Mohamed, pakar kesusasteraan dan kebudayaan Melayu membentangkan kajiannya dalam Webinar Relevansi dan Aktualisasi Budaya Panji yang berlangsung pada 19 Ogos 2021, jam 2.00 petang anjuran Asosiasi Tradisi Lisan Jawa Timur, Indonesia. Webinar yang bertemakan \u201cCerita Panji Berkelana di Malaysia\u201d turut menampilkan Encik Faizal Hilmie Yusof, Pengarah Perkhidmatan Rujukan dan Maklumat, Perpustakaan Negara Malaysia.\nBuku berjudul Syair Misa Gumitar yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2004 diangkat sebagai teks kajian.\n\u201cSyair Misa Gumitar amat langka dibicarakan oleh mana-mana pengkaji. Syair yang sangat dekat dengan masyarakat Melayu ini harus dibuat kajian lanjutan. Cerita panji yang berbentuk syair seperti ini digunakan secara meluas oleh orang Melayu. Rima dan alunan irama syair tersebut memberikan kesan kepada pendengaran dan hati mereka,\u201d tambah Noriah.\nSememangnya, cerita-cerita panji menjadi wadah bacaan masyarakat Melayu kerana alur ceritanya mempunyai persamaan dengan cerita lipur lara Melayu yang bertemakan pengembaraan dan percintaan dalam kalangan putera dan puteri raja. Walaupun cerita panji (Jawa) dan cerita lipur lara (Melayu) diolah mengikut latar budaya masyarakat masing-masing, namun sesebuah cerita menjadi hak bersama dan boleh digunakan oleh sesiapa sahaja.\nTonton webinar penuh di sini." "Menulis Sajak itu Bukan Mudah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSalman Sulaiman menyampaikan renungan tentang ketelitian dan kesungguhan dalam penulisan sajak.\nBenar, ada penyair besar yang menulis tentang cinta. Namun, perhatikan perihal cinta apa yang ditulisnya. Lihat betapa hebat pemikirannya, dan telitikan gagasannya.\nDunia kepenyairan kita sebenarnya disuramkan oleh sajak-sajak kita sendiri. Kenyataan tersebut memang pedih dan sakit kita mendengarnya, namun inilah hakikatnya yang perlu kita terima, agar kita tidak lagi mencipta sajak sekadar hanya untuk meluahkan perasaan atau hanya mahu bersuka-suka dengannya. Berhentilah menulis sajak cinta yang dangkal dan cetek pemikiran. Sajak bukan hanya untuk orang yang dilamun cinta sahaja, bukan juga untuk tujuan meluah perasaan semata-mata.\nKenyataan ini bukanlah bermakna menidakkan minat para pengarang muda menulis sajak, tidaklah menyekat keinginan penulis baharu untuk turut sama menghasilkan sajak dan mengirimnya ke media penerbitan. Keghairahan itu tidak disekat dan tidak terhalang langsung pun. Namun, serius dan bersungguhlah untuk jadi penyair dan bergelar pengarang. Memasuki dunia sastera sekadar ingin meluahkan madah-madah cinta atau cuma \u201cmahu menghilangkan bosan kerana tidak tahu hendak buat apa\u201d semata-mata akan memberikan masalah besar kepada dunia kepenyairan kita.\nBenar, ada penyair besar yang menulis tentang cinta. Namun, perhatikan perihal cinta apa yang ditulisnya. Lihat betapa hebat pemikirannya, dan telitikan gagasannya. Telaah juga kekuatan bahasanya. Tidaklah cinta semata-mata, apatah lagi cinta sesama manusia sahaja. Iqbal misalnya, beliau tidak menulis sajak cinta yang kosong dan hambar, apatah lagi rindu kasih sesama manusia. Telaah ungkapan cinta dalam sajak masyhur Javid Namah karya penyair besar Pakistan ini:\nApakah uzlah? Ialah penderitaan, rindu dendam yang membakar. Kebersamaan adalah penyaksian, kesendirian adalah pencarian. Cinta dalam kesendirian, bagai lawan berbincang dengan Tuhan. Tetapi apabila cinta menampakkan diri secara terbuka, ia bagaikan raja. Kesendirian dan keterlibatan dalam dunia adalah penjelmaan sepenuh rindu yang membakar dan ghairah yang menyala; kedua-duanya adalah hal dan maqam dalam hasrat akan Tuhan.\nBeliau mengungkapkan cinta yang agung, kasih yang terulung \u2013 kepada Tuhan pencipta segala makhluk. Bukan cinta nafsu sesama manusia. Bukan rindu sayang lelaki perempuan. Oleh kerana itu sajaknya hidup dan kekal, serta masih dibaca-kaji hingga ke saat ini walaupun Iqbal telah pergi meninggalkan kita 83 tahun yang silam.\nAllahyarham Profesor Zulkifli Muhammad yang lebih dikenali sebagai seorang intelektual yang banyak menulis rencana perihal kemasyarakatan, agama, pendidikan, akhlak, bahasa, dan falsafah dalam pelbagai majalah dan surat khabar sewaktu hayatnya pernah mengakui kesukarannya untuk terus menulis sajak menjelang akhir-akhir usianya. Oleh kerana itu beliau hanya sempat menghasilkan sajak terakhirnya pada tahun 1961, dan selepas itu beliau terus berhenti menulis sajak sehingga penghujung usianya. Profesor Zulkifli meninggal dunia bersama isterinya dalam satu kemalangan jalan raya di Kuantan, Pahang pada 6 Mei 1964 sewaktu berusia 37 tahun.\nSajak terakhir beliau yang dimaksudkan bertajuk \u201cAku Hamba Tuhanku\u201d yang disiarkan dalam akhbar Berita Minggu keluaran 27 Mac 1961. Menarik jika ditelusuri cerita sebalik sajak terakhir beliau ini. Kisah ini dicatatkan oleh Mokhtar Petah dalam bukunya Wasiat Perjuangan Zulkifli Muhammad (Penerbitan Ilham Baru & IKDAS, 2010). Berkenaan perakuan Profesor Zulkifli tentang kesukarannya menulis sajak itu, Mokhtar menulis begini: \u201cWalaupun beliau mempunyai kemahiran mencipta sajak, tetapi Zulkifli pernah berkata kepada saya bahawa mencipta sajak terlalu sukar, tetapi sedikit sangat orang yang meminati dan terlalu sedikit pula orang yang faham erti sesebuah sajak. Menurutnya, beliau sendiri lebih suka menulis makalah kerana makalah dapat diamati oleh pembaca-pembacanya dengan sepenuh hati.\u201d\nKisah Zulkifli Muhammad yang jarang diketahui umum ini menjelaskan kepada kita kedudukan sebenar sajak, yang nyata memiliki nilainya yang tersendiri. Seseorang penulis perlu menggunakan kepintarannya yang maksimum untuk mencipta sebuah sajak yang bermutu.\nKita akan faham bahawa Zulkifli meletakkan sajak pada kedudukannya yang istimewa serta pada martabat yang tinggi, dan beliau menggunakan sajak untuk menyatakan fikirannya, perjuangannya. Dr. Zabidin Hj. Ismail dalam sebuah makalahnya yang berjudul \u201cMesej Nasionalisme dan Islam dalam Sajak-sajak Zulkifli Muhammad\u201d (Jurnal Pengajian Melayu Jilid 25, 2014) menyatakan Zulkifli Muhammad menulis secara keseluruhan 13 buah sajak sepanjang 15 tahun tempoh kepenyairannya. Dalam makalah yang sama, Dr. Zabidin turut memetik pengiktirafan Usman Awang terhadap kepenyairan Zulkifli Muhammad: \u201cYa, Prof. Zulkifli adalah juga seorang penyajak yang sekali sekala kita lihat mempunyai tema kebangsaan dan keagamaan yang sama kuat dan berpengaruh.\u201d\nKenyataan Usman Awang ini membuktikan kekuatan sajak-sajak Zulkifli Muhammad walaupun Allahyarham hanya menulis 13 buah sajak sepanjang usianya. Selain Usman, Zulkifli juga sezaman dengan beberapa penyair lain seperti A. Samad Said, Siti Aishah, Burhan Md. Yaman, Mariam Abdul Ghani, dan Alis Murni. Zulkifli menjadikan sajak sebagai satu wadah untuk menyampaikan pemikiran dan dakwahnya. Manakala sajak itu sendiri ditulis menggunakan kekuatan fikirannya yang sebenar. Beliau tidak menghasilkannya secara semberono atau sesuka hati.\nPenyair terkemuka Rusia, Alexander Pushkin dalam sajaknya yang bertajuk \u201cSeruan kepada Kawan Penyair\u201d memberikan peringatan kepada para penyair agar tidak bermudah-mudah dalam proses penciptaan sajak. Sangat berharga dan begitu baik ingatan Pushkin ini jika penyair kita benar-benar ingin belajar dan mahu memahami. Sajak tersebut dikemukakan oleh Dr. Boris Parnickel dalam kata pengantarnya untuk buku Puisi dan Prosa Pilihan Alexander Pushkin (DBP, 2001) sebagaimana berikut:\n\u00a0Kawanku, jangan mengindahkan kepopularan!\nKebisingan pujian yang berghairah akan berlalu sekejap mata,\nBiarpun kau mendengar kritik orang bodoh dan gelak orang ramai acuh tak acuh\nKau mesti tetap teguh, tenang dan tafakur.\nKau harus berdaulat dan tidak bergantung pada sesiapa. Pilihlah jalan sendiri\nBerpandukan akal budimu yang bebas,\nSambil menyempurnakan buah fikiranmu yang paling bernilai,\nDengan tidak menuntut penghargaan terhadap kejayaanmu yang luhur.\nPenghargaan itu tersimpan di dalam dirimu Kau adalah penilai karyamu yang muktamad.\nKaulah yang paling kritis tentang ciptaanmu.\nApakah kau berpuas hati dengan hasil tulisanmu yang kau periksa?\nKalau begitu biarlah orang banyak mengeji hasil karyamu,\nMeludahi api yang bernyala di tempat pujaanmu\nSambil tersasul menggoncangkan tripod dengan persembahanmu yang suci.\nPenyair terkenal kita pula, T. Alias Taib juga sangat berhati-hati mencipta sajak-sajak awalnya yang dimuatkan dalam buku Pemburu Kota (DBP, 1978). Walaupun sajak-sajak dalam buku ini ditulisnya ketika masih bergelar penulis muda, iaitu himpunan sajak dari tahun 1970 hingga 1976 sewaktu usianya 29 hingga 35 tahun, namun T. Alias sangat teliti dan cermat mencipta karya-karyanya. Hadir ke dalam jagat kesusasteraan sebagai penulis muda tidak memberikan alasan untuknya menulis karya-karya mentah yang rendah mutu dan kurang memikat. T. Alias telah membuktikannya dalam kumpulan sajak keduanya ini.\nApabila kita meneliti keseluruhan sajak dalam Pemburu Kota, dapat kita katakan dengan jelas bahawa penelitian rapi dilakukan terhadap isi cerita yang hendak ditulis dan proses penciptaannya yang begitu teliti pula tatkala mengarang sajak-sajak tersebut. Untuk membuktikan kenyataan itu, kita lihat salah satu sajak dalam buku ini yang bertajuk \u201cKuala Lumpur\u201d pada halaman 40, yang diperturunkan di sini sepenuhnya:\n1\ndalam keriuhan dan kesibukanmu\nkutemui kehancuran\ndi wajah seorang tua\ntertidur di kakilima\nkulihat bunga sebuah impian\ntak berwarna\npecah dan layu\nterkulai di bibirnya\nkudengar suara sebuah tangisan\ntak berirama\nresah dan sayu\nberderai di kalbunya\n2\ndi sini ada pagi\ntapi tak kutau\ndi mana mentari terbit\ndi sini ada senja\ntapi tak kutau\nbila mentari tenggelam\ndi sini ada malam\nkutau\nia telah tempuh\nratusan dosa\nantara gedung-gedung tinggi\ndan lorong-lorong sunyi\n\u00a03\ndi tumit bangunan-bangunan raksasamu\nkutemui kesombongan\nkelaparan dan kejahatan\nberbaur di jalan raya\nkemiskinan adalah sungaimu\nyang kian kurus\nkeruh dan coklat\ndi atas dadamu\nkesengsaraan adalah penghunimu\nyang kian kecil\ndan kemudian menghilang\ndi balik matamu\nContoh-contoh daripada kepenyairan Iqbal, Zulkifli Muhammad, Alexander Pushkin dan T. Alias Taib yang dikemukakan bukanlah agar para penulis kita meniru sajak-sajak mereka bulat-bulat, atau mencontohi gaya penulisan sajak mereka sahaja. Tetapi diperincikan sebagai satu pegangan untuk penyair kita agar lebih cermat dan berhati-hati menulis sajak, agar para penyair kita tidak bermudah-mudah dalam menghasilkan puisi moden yang sewajarnya dihargai ini. Kita sendirilah sebenarnya yang membuat pilihan untuk karya-karya kita itu nanti, agar ingin terus dikenang atau dilupakan.\n_________________________\nSalman Sulaiman graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera, Universiti Sains Malaysia (2006). Karya cerpen dan sajaknya memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) tahun 2003, 2004, 2008 dan 2009. Mewakili penulis muda Malaysia ke Program Penulisan MASTERA di Anyer, Banten, Indonesia pada tahun 2012. Menjadi AJK Persatuan Penulis Kelantan sejak tahun 2007 hingga 2017. Beliau telah menulis lima buah buku: Pemain Bahasa, Sebelum Menjadi Penakut, \u2018Ngembara., ALLAH!, dan Nuh, Si Tukang Kayu & Sebuah Perahu. Sajaknya, \u201cIni Tanah Kita\u201d dipilih sebagai teks Kesusasteraan Melayu SPM 2015\u20132019. Pernah menyandang Johan Sayembara Deklamasi Puisi BBK Kelantan 2015 dan menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan dalam Anugerah Sastera Negeri Kelantan 2019/2020. Salman Sulaiman kini merupakan penuntut pascasiswazah bidang Kesusasteraan Melayu Klasik di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris." "Adaptasi Layar Perlu Ideologi Naskhah Sebagai Titik Temu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDengan perkembagan pembikinan karya audio visual berdasarkan naskhah sastera tanah air baru-baru ini mencetuskan suatu perbincangan yang positif. Sejak filem Ranjau Sepanjang Jalan (1983) yang diadaptasi daripada novel Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, kini muncul adaptasi telefilem Srengenge (2017) dan drama bersiri Ayahanda (2021) yang mencetuskan fenomenanya yang tersendiri.\nBagi Dr. Saleeh Rahamad, walaupun pembikinan filem atau drama televisyen yang berdasarkan karya sastera membuatkan pengarahnya seperti \u201cpengarang kedua\u201d karya asal, titik temu yang menjulang dua medium yang berbeza itu ialah \u201croh\u201d dan ideologi naskhah itu.\n\u201cSangat penting untuk pengarah membaca, memahami dan menghayati naskhah asal penulis, supaya dapat memahami gagasan yang dibawa. Berat untuk penulis asal menerima, namun perubahan dalam proses pemindahan tetap akan berlaku, tetapi tidak wajarlah ideologi dan \u2018roh\u2019 bagi naskhah itu mati setelah berpindah medium,\u201d jelas Saleeh.\nWacana PENA ke-6 yang dianjurkan pada 20 Ogos 2021 (Jumaat), 9.00 malam, membincangkan hal ini, dengan penampilan dua panel undangan, penulis prolifik dan editor, Sri Diah Shaharuddin dan Profesor Dr. Mahadi J. Murat, pengarah, penulis skrip dan ahli akademik. Wacana turut disertai oleh Dr. Saleeh Rahamad, Presiden PENA selaku panel tetap dan Mohd Khair Ngadiron sebagai moderator. Perbahasan kali ini bertajuk \u201cSastera ke Layar: Benarkah Selalu Gagal?\u201d.\nMengakui perbezaan dua medium seni itu, Sri Diah juga mempunyai karya novel yang telah diadaptasi kepada drama bersiri, iaitu Selamat Malam Tan Sri. Pengalaman beliau ketika duduk semeja untuk berbincang proses penghasilan siri tersebut juga membuahkan pendapat.\n\u201cAntara masalah dan rintangan yang dihadapi penulis ialah terpaksa mengorbankan gagasan yang dibawa kerana terpaksa memenuhi permintaan komersial dalam ranah penyiaran layar.\u201d\nNamun, beliau juga mengakui dan memahami kekangan yang dihadapi oleh pengarah sebagai tukang pengadaptasi.\nMahadi J. Murat, sebagai tukang cerita dan pengarah bertegas untuk mengenal filem sebagai sebuah medium yang tersendiri. \u201cBuat filem sebagai filem,\u201d katanya.\nMenurut beliau, karya sastera memang telah dan akan sentiasa dilayarkan, namun bagi pembikin filem, karya sastera seperti cerpen, skrip drama dan sebagainya hanya diambil kira sebagai \u201csumber cerita\u201d semata-mata. Tanggungjawab pemindahan akan jatuh ke atas tangan pengarah filem.\nMahadi menjelaskan, kejayaan dan kegagalan sesebuah filem bergantung pada sejauh mana naskhah tersebut berjaya memberikan impak kepada khalayak (penonton), dari sudut kandungan naskhah, mesej serta pemikiran yang digagaskan oleh karyawan filem tersebut.\nBeliau juga menekankan nilai sastera atau seni dalam diri karyawan filem yang juga merupakan unsur penting dan kunci untuk menghasilkan sebuah filem yang baik.\n\u201cKaryawan filem kini yang tidak mempunyai mentaliti pencerita dan pemikir sastera sebenarnya mengakibatkan kekurangan besar dalam industri perfileman.\u201d\n\u201cOrang yang berfikiran dan berpengetahuan sastera akan mempunyai hasrat untuk menyampaikan cerita dengan kaedah dan garapan yang sedia utuh,\u201d ujar Mahadi.\nRumus beliau, pengetahuan dalam pemikiran dan selok-belok sastera atau seni ialah kunci dan modal utama bagi resipi kejayaan karyawan filem Melayu.\nTonton wacana penuh di sini." "Penentuan Pemimpin yang Dihajati Menerusi Tajus Salatin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Jatuh bangun sebuah negara bergantung kepada kewibawaan pemimpinnya. Baik pentadbirannya, maka makmurlah negaranya. Siri Ceramah Ilmiah bersama Tokoh oleh Gabungan Melayu Islam Beraja (Mi\u2019raj) membawakan tajuk \u201cPemimpin yang Dihajati oleh Rakyat dan Negara\u201d dengan mengupas kitab Tajus Salatin.\nSiri Ceramah Ilmiah ini menampilkan tokoh bahasa, budaya dan kesusasteraan yang tidak asing lagi, iaitu YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, yang merupakan penerima Anugerah Tokoh Penggiat Sastera Johor\u00a0tahun 2021. Moderator wacana ialah Sakaria Semela yang merupakan Setiausaha Agung My-RiO (Persatuan Mantan Pegawai Perkhidmatan Hal Ehwal Islam Malaysia).\nSiri pertama bual bicara ini dimulakan dengan memperkenalkan kitab Tajus Salatin yang ditulis oleh Bukhari al-Jauhari pada tahun 1603. Kitab ini adalah antara karya terawal di Alam Melayu tentang ketatanegaraan yang meletakkan asas penting dalam sistem politik dan pemerintahan, berdasarkan lunas-lunas Islam. Kitab ini terdiri daripada tiga perkara pokok, iaitu konsep, falsafah dan kaedah, serta mempunyai 24 fasal.\nBeberapa lunas penting dalam Tajus Salatin yang disentuh dalam program ini adalah mengenai kepentingan mengenal diri, raja tidak wajar bersikap sombong dan menganiaya segala hamba Allah, dan dunia hanya tempat persinggahan sementara untuk ke alam abadi yang menyeru kehidupan di dunia perlu diisi dengan penuh amanah dan tanggungjawab yang ditetapkan oleh Allah.\nAwang Sariyan menyeru pemimpin politik, institusi dan pertubuhan untuk kembali menghayati kitab-kitab warisan dan pujangga ulama terdahulu yang berpandukan nas. Bagi memastikan kitab ini dapat dihayati oleh pemerintah dan rakyat di semua peringkat, Awang Sariyan mencadangkan sinergi antara universiti dengan penerbit bagi menyampaikan ilmu kitab ini dalam pelbagai versi, daripada versi penuh kepada versi ringkas, dan ditransliterasi dan diadaptasi kepada pelbagai medium berbahasa Melayu. Usaha ini diharapkan mendapat sokongan dan dokongan penuh serta diangkat menjadi agenda negara.\nCeramah Ilmiah Bersama Tokoh ini telah disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Gabungan Melayu Islam Beraja\u00a0(Mi\u2019raj) pada 16 Ogos 2021, jam 9.00 malam dengan anjuran bersama DBP, ATMA UKM, Majlis Perundingan Melayu, Muwasolah Agamawan dan Aktivis Memperkasa Institusi Raja-Raja (Mampir), Persatuan Mantan Pegawai Perkhidmatan Hal Ehwal Islam Malaysia (My-Rio), dan Akademi Watan.\nTonton wacana penuh siri 1 dan siri 2." "Juara Menunggu Ungguli Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Negeri Selangor 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Digelar sebagai \u201cPak Cik Tupperware\u201d, Noorhisyam Razali mengungguli Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-35 Peringkat Negeri Selangor yang diadakan pada 22 Ogos 2021 secara maya melalui aplikasi pelantar sosial Zoom. Pertandingan berprestij itu menampilkan lapan orang peserta yang terdiri daripada empat peserta lelaki dan empat peserta wanita.\nUniknya, kali ini empat orang daripada peserta peringkat akhir ini pernah memegang takhta johan peringkat negeri Selangor, iaitu Noorhisyam Razali sendiri (johan peringkat negeri Selangor pada tahun 2014), Nur Sharina Cik Ibrahim (wakil Selangor pada tahun 2017), Ahmad Sa\u2019idun Mohd Mokhtar (johan pada tahun 2018) dan Azamin Itam (juara sayembara sama pada tahun 2020).\nSaingan yang sengit berlangsung daripada lapan orang peserta yang rata-rata pernah menjuarai sayembara deklamasi puisi anjuran pelbagai pihak lain. Pentas Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Negeri Selangor kali ini ibarat pentas juara melawan juara. Sajak \u201cCitra Jiwa Merdeka\u201d karya Abdul Karim Gullam telah menjadi sajak bertuah buat Noorhisyam Razali. Naib johan disandang oleh Nur Eleyda Ezani yang mendeklamasikan sajak \u201cDarah yang Terpercik di Baju\u201c karya Norazimah Abu Bakar, manakala tempat ketiga menjadi milik Azamin Itam yang membawakan sajak \u201cLandskap Bangsa\u201d karya Mohamad Saleeh Rahamad.\nTiga tempat sagu hati dimiliki oleh Muhammad Amir Akil Zulkifli yang membawakan sajak \u201cMilik Siapakah Tanah Ini\u201d karya Mohamad Ghazali Taib, Nur Dini Safiya Amin mendeklamasikan\u00a0 sajak \u201cSahaya Ini Anak Negeri Merdeka\u201d karya Shukri Abdullah, dan Ahmad Sa\u2019idun Mohamad Mokhtar dengan sajak pilihannya, \u201cSumbangsih Buat Nusa Bangsa\u201d karya Jamilah Harun.\nPertandingan ini diadakan secara dua sesi, iaitu sesi pertama empat orang peserta dan sesi kedua empat peserta selebihnya.\nAcara pertandingan ini diselangi oleh persembahan istimewa daripada dua orang pelajar Sekolah Kebangsaan Seafield, iaitu Adam Nazhan Mohd Naim dan Nur Batrysia Mohd Shahril. Pihak penganjur juga menyediakan video penghargaan khas buat semua peserta sayembara dan juga video persembahan Tarian Rangguk yang juga merupakan bahan kajian Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Selangor (JKKNS).\nKali ini, bagi mematuhi tatacara operasi standard (SOP) pihak kerajaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19, pihak KEMUDI sebagai tuan rumah telah melangsungkan pertandingan berprestij ini secara dalam talian dan dipancarkan terus ke laman Facebook KEMUDI. Dua orang pengacara majlis mengemudi acara ini selama tiga jam.\nPara peserta juga perlu mendeklamasikan sajak pilihan mereka secara langsung di lokasi masing-masing. Pertandingan yang menjadi acara tahunan sempena bulan kemerdekaan ini juga ditaja oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA),\u00a0 JKKNS dan Syahida Hassan Enterprise (SHE).\nNoorhisyam menerima hadiah wang tunai tajaan DBP Wilayah Tengah sebanyak RM1000, Nur Eleyda pula mendapat RM700, Azamin Itam pula RM500. Tempat sagu hati pula mendapat RM200 setiap orang. Noorhisyam akan menjadi wakil Selangor di pentas kebangsaan yang akan diadakan pada 11 September 2021.\nTonton persembahan penuh acara sayembara di sini." "Kekalahan Trump Gencat Jualan Buku Politik di Amerika Syarikat?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKetika penggal kedua George W. Bush sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) berakhir, ramai pelawak dan penulis jenaka politik termasuk penggiat komediri (stand-up comedy) mengeluh kerana \u201chilang\u201d sumber inspirasi mereka selama hampir satu dekad.\nHal ini kerana Bush banyak melakukan malapropisme atau sasulan berlebihan, bahkan aksinya juga menjadi bahan lelucon termasuk dalam rancangan bicara larut malam, selain langkah politik yang diambil oleh Rumah Putih di bawahnya (siapa boleh lupa dengan kain rentang \u201cMission Accomplished\u201d di kapal induk pesawat udara sebagai tanda kemenangan misi AS di Afghanistan \u2013 apatah lagi perkembangan terbaharu Taliban yang berjaya menguasai kembali\u00a0negara berkenaan).\nBagi penulis jenaka politik, pelawak dan penggiat komediri, bagaimana mungkin mereka dapat meneruskan seni itu tanpa Bush melakukan malapropisme, malah Rumah Putih kemudiannya ditadbir oleh Barrack Obama yang memiliki karisma serta berkaliber?\nNamun, ternyata ahli politik mana sekalipun mempunyai potensi, bahkan risiko untuk mengeluarkan kenyataan lucu atau mengambil tindakan menggelikan hati walaupun ia bukanlah tujuan sebenar mereka.\nBagaimana pula dalam konteks penerbitan buku politik? Sejauh mana ketiadaan watak politik yang menarik untuk disorot atau dikritik, khususnya yang memberikan kesan negatif pada pasaran buku politik?\nKita berkesempatan melihat hal ini apabila Donald Trump tersungkur dalam Pilihan Raya Presidennya pada tahun lalu, sekali gus gagal meneruskan penggal kedua selepas tewas kepada Joe Biden.\nTulisan Alexandra Alter dalam The New York Times menarik untuk dibaca apabila mencatatkan, ketika Biden mengambil alih Rumah Putih, penerbit di AS mengalami senario sama yang dihadapi oleh penulis jenaka politik, pelawak dan penggiat komediri lebih 10 tahun lalu.\nHal ini kerana, sepanjang tempoh pentadbiran Trump, penerbitan buku politik meraih laba besar kerana banyak buku politik laris di pasaran, termasuk karya pendedahan oleh wartawan veteran Bob Woodward dan Michael Wolff, serta memoir oleh bekas Penasihat Keselamatan kepada Trump, John Bolton dan anak saudara bekas presiden terbabit, Mary Trump, yang mencatatkan jualan jutaan naskhah.\nPada tahun lalu sahaja, buku politik terjual sebanyak 10.5 juta naskhah dalam bentuk cetak mahupun e-buku di AS berdasarkan data NPD Bookscan, meningkat daripada 6.1 juta pada tahun 2019. Malah, The Marker\u00a0melaporkan lebih 1 ribu judul mengenai Trump diterbitkan dalam tiga tahun pertama pentadbirannya, berbanding 450 judul mengenai Obama dalam tempoh tiga tahun terawal di Rumah Putih.\nBagaimana pula dengan era Biden? Seperti dijangka, tulis Alter, jualan buku politik jatuh dalam tujuh bulan pertama sejak beliau mengambil alih Rumah Putih dalam pilihan raya yang mencatat sejarah, termasuk perubahan besar dalam cara mengundi.\nNamun begitu, penerbit tidak berpeluk tubuh, sebaliknya tetap agresif memasarkan genre ini, terutamanya trend penerbitan buku oleh pengarang konservatif yang biasanya meningkat apabila ahli politik Demokrat menuani kerusi panas di Pejabat Oval, Rumah Putih.\nPresiden dan Penerbit Syarikat Penerbitan Regnery yang menerbitkan karya konservatif, Thomas Spence, berkata lebih mudah untuk menjual buku politik apabila pembacanya berada dalam posisi pembangkang dan terasa tergugat serta lebih bereaksi dan marah.\nOleh itu, Spence seperti dipetik Alter berkata, tempoh dua suku pertama tahun ini sangat baik kepada mereka.\nHal ini termasuklah Penerbit Simon & Schuster yang berjaya menandatangani perjanjian penerbitan dua buah buku dengan bekas Naib Presiden AS, Mike Pence yang menjadi penyokong kuat Trump meskipun pada akhir pentadbirannya tidak terlepas daripada dikritik oleh Trump sendiri.\nMalah, penerbitan era pasca-Trump di Rumah Putih juga tertunggu-tunggu bagaimana pula dengan memoir bekas Presiden AS itu sendiri yang bukan sahaja terkenal dengan status Twitter kontroversi sehingga sering dipadamkan oleh media sosial itu, bahkan mewujudkan apa yang dikenali sebagai \u201cPost-Truth\u201d atau pascakebenaran.\nSeperti yang ditegaskan oleh Alter, penerbit kini berlumba-lumba untuk menandatangani perjanjian penerbitan buku oleh pengarang konservatif, malah mereka seperti tergesa-gesa untuk menulisnya. Hal ini termasuklah buku oleh menantu Trump, Jared Kushner yang turut menjadi bekas penasihat bapa mentuanya dan terbabit secara aktif dengan pelan damai Trump di Timur Tengah, khususnya Perjanjian Abraham serta normalisasi negara Arab dengan Israel.\nWalau bagaimanapun, penganalisis di Kristen McLean menjangkakan trend polarisasi ideologi dan isu sosial akan terus memacu jualan buku untuk kedua-dua aliran politik, sekali gus memberikan khabar gembira kepada penerbit buku di AS." "Lidah adalah Peta Nirsempadan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJack Malik menemui bahasa puisi yang segar dalam pengkaryaan Affendi Salleh, meraikan semangat pencampuran dan pertukaran dua tiga kod bahasa.\nDengan semudah itu, percampuran bahasa Inggeris-Melayu menghasilkan rima yang seakan semula jadi. Satu aliran yang tidak ada sebarang sikap buat-buat atau kejelikan melampau.\nDalam kumpulan puisinya, Breaking Poems, penyair Arab-Amerika Suheir Hammad menggabungkan bahasa ibundanya dengan bahasa kebangsaan negara yang beliau membesar, lalu menulis baris ini: \u201cmoon/same in ramallah wa new orleans wa jerusalem wa johannesburg wa beirut same moon.\u201d Saya menemui baris ini dalam esei yang ditulis oleh Philip Metres dalam buku A Sense of Regard, sebuah antologi esei tentang puisi dan ras. Metres menerangkan bahawa pengulangan penggunaan \u2018wa\u2019 (bermaksud \u2018dan\u2019 dalam bahasa Arab) \u201cmula berbunyi seperti tangisan sedu-sedan\u201d. Saya mengagumi kemampuan Suheir menggabungkan dua bahasa dengan begitu mudah lagi cantik. Saya kemudiannya teringat beberapa nama di tanah air kita yang berkemampuan sedemikian.\nAffendi Salleh merupakan seorang arkitek yang menulis. Atau lebih tepat, seorang arkitek yang bersastera. Affendi ada kelasnya yang tersendiri. Kepada sesiapa yang tahu dan mengikutinya di Facebook, pasti akan kenal gayanya yang menghembus nafas baharu pada penulisan dalam bahasa Melayu. Gelas Separuh Penuh merupakan himpunan tulisan-lukisannya di Facebook yang dibukukan dengan begitu anggun. Kulit keras dan halaman penuh berwarna, mengekalkan keindahan yang sama ketika menatal karya-karyanya secara dalam talian. Bahkan, kini lebih bernilai dengan adanya jasad nyata untuk dipegang-belek-baca.\nSaya mengatakan Affendi sebagai nafas baharu dalam penulisan bahasa Melayu kerana sikap tidak patuhnya pada peraturan-peraturan jumud dan ideologi ketulenan bahasa. Pemberontakannya bukan tanpa otak. Kesetiaannya pada lidah ibunda (serta kebangsaan) bukan tuli lagi buta. Affendi seolah-olah memahami bahasa itu lagu. Punyai rentak dan rima yang mengasyikkan halwa telinga (jika kena cara). Bukan dengan satu cara sahaja yang betul. Pelbagai cara boleh dilaksanakan. Dan, pada pendapat saya, cara beliau adalah dengan percampuran-pertukaran kod.\nSalah satu contoh percampuran-pertukaran kod Affendi adalah seperti berikut:\nDi usia 20an cinta adalah rindu dendam, phone call lewat malam,\nkongsi earphone dalam library, message tak ada reply runsing\nsatu hari.\nDi usia 30an cinta adalah tanggungjawab, bercakar pagi apology\npetang nanti, bangun midnight menetekkan baby, simpan 10%\nbila dapat gaji.\nDi usia 40an cinta adalah familiarity, angkat kening dan dah tahu\nnak dinner apa, kongsi moisturiser sebab sama-sama makin\ndimakan usia, tulis wasiat agar terjaga bila satu dah tiada.\nLove is weirdlah papa.\n(Affendi Salleh, hantaran Facebook, 28 Julai 2021)\nDengan semudah itu, percampuran bahasa Inggeris-Melayu menghasilkan rima yang seakan semula jadi. Satu aliran yang tidak ada sebarang sikap buat-buat atau kejelikan melampau. Pertukaran Affendi daripada satu kod kepada satu kod lain, berlaku dengan lancar. Tiada kerosakan terjadi, pada hemat saya. Bahkan, langsung tidak mencabuli kesucian bahasa kebangsaan. Dalam ruang lingkup dan laras kreatif, mungkin bukan ini yang kita mahu tapi semestinya yang kita perlukan.\nSaya kira, percampuran dan pertukaran kod adalah sesuatu perkara yang menarik bagi karyawan tempatan kita untuk terokai. Terutama sekali mereka yang bukan Melayu. Pasti terdapat istilah dan perkataan khusus yang wujud dalam perbendaharaan ibunda mereka yang kalau ada sekalipun sasaran sedia ada dalam bahasa Melayu, saya percaya pasti sedikit sebanyak air tangannya tidak sama. Hal ini bukanlah untuk menampung kefasihan yang kurang dalam bahasa Melayu mahupun tergamak mengatakan bahasa Melayu itu tidak mampu menyampaikan secukupnya. Hujah saya lebih kepada memperkaya bahasa Melayu dengan benar-benar menjadikannya bahasa Malaysia, iaitu menyerap mana-mana ungkapan, loghat, bahkan bahasa selain bahasa Melayu yang ada di Malaysia, untuk dimasukkan ke dalam perbendaharaannya. Sering kita sebut akan perpaduan dan hegemoni, barangkali inilah salah satu caranya yang boleh dilakukan. Hasilnya tiada pemadaman budaya dan pada masa yang sama semua pihak menjadi kaya.\nJika pemuisi kita menggali kembali, kemudian melakukan apa-apa yang Affendi dan yang lain telah lakukan, saya percaya lapangan sastera tanah air akan lebih subur dan berseri. Kepelbagaian bunyi. Semesta kemungkinan suara tanpa batas bakal didengari.\nPada pemerhatian dan pengetahuan saya, percampuran dan pertukaran kod bukanlah sesuatu yang asing dalam sastera Melayu. Hal kemasukan bahasa atau istilah asing bukan berlaku semalam dan sudah tentunya bukan terjadi dengan kemunculan sastera Indie Malaysia pada lewat 2000-an dan awal 2010-an. Kita perlulah berpemikiran kritis serta melemparkan selayang pandang ke arah sejarah. Sebelum kita menghakimi sesuatu perkara, kita terlebih dahulu perlulah bersikap adil dan tekal.\nHarus diakui, percampuran dan pertukaran kod dalam ruang lingkup sajak Melayu Malaysia tidak berlaku dengan mendadak. Kemasukan satu dua perkataan ke dalam dunia sajak Melayu Malaysia mungkin tidak boleh menandakan perkembangan percampuran-pertukaran. Namun, tidak boleh kita terlepas pandang akan kejadian ini.\nPuisi seperti \u201cSuasana\u201d, \u201cIbuku\u201d, \u201cBagaimana Kalau\u201d dan banyak lagi oleh Sasterawan Negara (SN) Usman Awang; \u201cKolaj Gerakan Moden\u201d dan \u201cRayuan Wanita Asia\u201d SN Baha Zain; \u201cStop\u201d Puzi Hadi; \u201cEropah Hari Ini\u201d SN Muhammad Haji Salleh; \u201cMeditasi\u201d SN Kemala; \u201cBahawa Aku Pernah Hidup\u201d SN Zurinah Hassan, merupakan antara karya puisi yang menggunakan perkataan Inggeris. Walaupun tidak begitu jelas berlakunya pertukaran-percampuran sepertimana yang dilakukan oleh Affendi dan pemuisi muda lain di Malaysia, sebuah medan telah dibuka dahulu. Jika pemuisi kita menggali kembali, kemudian melakukan apa-apa yang Affendi dan yang lain telah lakukan, saya percaya lapangan sastera tanah air akan lebih subur dan berseri. Kepelbagaian bunyi. Semesta kemungkinan suara tanpa batas bakal didengari.\nNamun begitu, percampuran-pertukaran kod bukanlah tanpa penentangnya. Kerisauan paling ketara yang sering diratib oleh para pejuang bahasa ialah kerancuan (yang bakal) berlaku. Dijajah oleh anasir asing. Hilang jati diri. Budaya disisih dan dilupai. Namun, sejenis rasa ketidakyakinan dan ketakutan melampau inilah penyakit sebenar yang dihidapi oleh (penutur) bahasa Melayu. Dalam hal ini, sebuah esei oleh Mihaela Moscaliuc membicarakan sisi-sisi murni pertukaran kod dalam ruang pengaruh puitika Amerika Syarikat. Dalam buku A Sense of Regard, esei Moscaliuc, \u201cCode Switching, Multilanguaging, and Language Alterity\u201d, menyatakan \u201cpertukaran kod menandakan perluasan peluang perhubungan serta peluahan, bukannya salah satu cara menampung kekurangan dalam kefasihan ekabahasa.\u201d Sebarang gangguan bahasa, Moscaliuc bahaskan adalah bertujuan untuk \u201cmengusik makna dan pembacaan linear . menuntut anjakan perhatian yang sering mengakibatkan pemadaman . nyahkenal dan menimbulkan pelbagai pertanyaan tentang ruang pengaruh.\u201d\nBarangkali, dengan adanya ruang perbincangan serta dorongan sewajarnya, sastera percampuran-pertukaran kod boleh berkembang dengan lebih tuntas dan mapan. Hasil sastera ini juga boleh menjadi semak dan imbang bagi mana-mana persuratan yang memandang enteng terhadap sesuatu yang dianggapnya picisan atau pinggiran. Antara pemain selain Affendi ialah Sheena Baharudin, yang menukar-campur kod dalam acara deklamasi puisi Spoken Word dengan menggunakan bahasa Melayu, Inggeris dan Arab; Kulleh Grasi\u00a0sudah pun menempa namanya di persada antarabangsa dengan menukar-campur kod dalam bahasa Melayu dan bahasa-bahasa asal kepulauan Borneo. Dengan pemahaman yang lebih elok tentang laras bahasa, suatu ruang pengaruh dan agensi dalam pemilihan gaya, hanya untung dan laba yang mampu diperoleh bagi semua pihak. Kerugian sebenar hanya berlaku apabila kita membatasi lidah kita dengan melukiskan sempadan-sempadan khayalan di atasnya.\n_________________________\nJack Malik merupakan seorang penyajak dari Ipoh. Karyanya pernah tersiar dalam Mekong Review, Dewan Sastera, Selangorkini, dan halaman Tukang Puisi. Jack juga sebahagian daripada kolektif seniman Projek Rabak. Beliau mempunyai dua kumpulan puisi, iaitu Wannabe Sasau dan Sajakjakja(c)k. Jack juga merupakan salah seorang penerima anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 bagi kategori sajak eceran." "Program Science + Literature Manfaatkan Karya Sastera Tarik Minat Masyarakat kepada Sains, Teknologi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNew York \u2013 Biasanya, usaha meningkatkan pemahaman masyarakat khususnya generasi muda terhadap sains dan teknologi lebih tertumpu pada pendidikan, terutamanya di sekolah seperti yang berlaku di negara ini. Tidak hairanlah ada yang sampai mengubah bahasa pengantar kepada bahasa Inggeris kerana menganggap tindakan itu satu-satunya kaedah paling berkesan.\nBagaimanapun, proses menyemai minat masyarakat terhadap ilmu sains dan teknologi tidak terhad dalam bentuk formal, sebaliknya perlu dibuat dalam bentuk pembudayaan secara terancang dengan menggunakan mekanisme menarik serta tidak kaku.\nYayasan Buku Kebangsaan (NBF) yang berpusat di New York misalnya, memperkenalkan inisiatif Program Science + Literature yang menyelongkar hubungan antara sains dengan kemanusiaan.\nBerbekalkan sokongan dana sebanyak AS$525 ribu (RM2.2 juta) daripada Yayasan Alfred P Sloan, program selama tiga tahun ini akan mengenal pasti tiga buku setiap tahun untuk memperdalam pemahaman pembaca terhadap sains dan teknologi dengan menumpukan karya yang meraikan serta menyumbangkan kepelbagaian suara dalam penulisan saintifik.\n\u201cKarya sastera terpilih akan berfungsi sebagai pemangkin untuk mencetuskan wacana, pemahaman dan keterlibatan dengan sains kepada masyarakat di seluruh negara.\n\u201cAcara awam akan dianjurkan, seperti NBF Presents, iaitu program kemasyarakatan yang menjadi jenama NBF sepanjang tahun,\u201d kata kenyataan NBF di laman webnya.\nJawatankuasa Induk dan Tetamu Kehormat Program Science + Literature akan diumumkan pada musim sejuk/bunga 2022, sekali gus memulakan perbincangan umum di seluruh negara untuk menyorot buku terpilih, selain acara berkaitan penulisan sains dan teknologi.\nBersandarkan hubungan dan kerjasama akrab NBF dengan pelbagai institusi berkaitan buku seperti perpustakaan, kolej, penganjur festival dan tempat persembahan, Program Science + Literature dijangka boleh mewujudkan gelombang baharu dalam pembudayaan sains dan teknologi melalui kesusasteraan. Malah, inisiatif ini juga dijangka dapat mempertemukan pakar, pemikir dan pengarang terkenal dengan pembaca di seluruh negara.\nNaib Presiden dan Pengarah Science + Literature Yayasan Alfred P Sloan, Doron Weber, berkata pihaknya berbesar hati untuk bergandingan dengan NBF untuk mengiktiraf buku hebat daripada para penulis yang mengangkat tema atau watak saintifik di seluruh negara yang dapat menemukan suara baharu serta menarik khalayak umum untuk terbabit dalam sains dan teknologi.\n\u201cPengarang yang menang akan menerima hadiah wang tunai sebanyak AS$10 ribu (RM42 ribu) dan akan bergabung dengan komuniti unik yang dianggotai oleh lebih 200 penulis berbakat yang disokong oleh Yayasan Sloan,\u201d katanya.\nSejak berdekad-dekad, program buku Yayasan Sloan menyediakan sokongan langsung kepada pengarang untuk menghasilkan buku yang menyelongkar sains dan teknologi. Antara yang menerima sokongannya termasuk karya yang diiktiraf seperti Hidden Figures tulisan Margot Lee Shetterly, Under a White Sky (Elizabeth Kolbert) dan The Making of the Atomic Bomb (Richard Rhodes).\nSementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah NBF, David Steinberger, berkata Program Science + Literature dapat meningkatkan kedudukan yayasan berkenaan sebagai penguji rasa dan pempengaruh serta pembicara kebudayaan yang membantu dalam usaha mencetuskan wacana penting pada peringkat kebangsaan.\n\u201cKami berterima kasih dengan Yayasan Sloan kerana membenarkan kami untuk terus memperkukuhkan hubungan dengan pengarang sains dan teknologi yang membantu membawa hubungan kami kepada khalayak di luar,\u201d katanya.\nDalam tempoh tiga tahun ini, NBF Presents berhubung dengan 40 ribu pembaca dalam talian dan bersemuka di 31 wilayah, sekali gus memperluas akses sastera di pinggir bandar, pedalaman dan bandar.\nHal itu ditegaskan oleh Pengarah Eksekutif NBF, Ruth Dickey yang mengingatkan, buku hebat dapat membuka pintu kepada pelbagai pemahaman isu yang kompleks.\n\u201cKami belajar lebih banyak daripada rakan kerjasama dan pembaca di seluruh negara, sekali gus berharap dapat berhubung dengan komuniti-komuniti ini. Malah, usaha ini mampu memperkasa sebuah komuniti baharu buat kami, iaitu sekitar sains dan teknologi dengan lensa kritis dan kepelbagaian,\u201d katanya.\nSemangat sama wajar dicontohi bukan sahaja oleh institusi, organisasi mahupun badan berkanun berkaitan kesusasteraan serta kebudayaan di negara ini, bahkan khalayak sains secara kolektif dalam usaha menjadikan masyarakat kita memiliki minat untuk memahami dan mendalami sains dan teknologi dalam bahasa kebangsaan.\nBenar, pembudayaan sains dan teknologi mesti diterapkan dalam sistem pendidikan bermula prasekolah, sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT), tetapi tindakan ini tidak terhad dalam bentuk kurikulum semata-mata, sebaliknya perlu dimanfaatkan melalui bidang kesusasteraan serta kebudayaan." "Deklamasi Sajak dan Dendangan Syair Kelaziman Baharu Perlu Inovasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pertandingan deklamasi sajak dan dendangan syair telah biasa dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Bahkan kedua-dua pertandingan ini juga banyak dianjurkan oleh institusi lain yang sentiasa menyokong perkembangan bahasa dan sastera tanah air. Tetapi, dalam situasi pandemik yang melanda seluruh dunia hari ini, konsep dan kaedah persembahan pertandingan ini perlu disesuaikan dengan norma baharu. Bagi menyebarkan maklumat tentang petua dan kaedah persembahan yang baik dalam kedua-dua persembahan ini, DBP telah membincangkan hal ini dalam rancangan Yang Lama Dijunjung, \u201cGemilang Puisi Melayu\u201d yang bersiaran secara langsung di media sosial DBP pada 24 Ogos 2021, pukul 10.00 pagi.\nRancangan tersebut telah menampilkan tokoh terkenal, iaitu Roslan Madun, ahli dalam dendangan syair dan Zaen Kasturi, tokoh dalam deklamasi sajak. Bual bicara ini merupakan perkongsian dari sudut pandangan kedua-dua tokoh ini yang biasa menjadi panel juri dalam pertandingan yang diadakan. Kedua-dua panel memberikan panduan kepada guru pembimbing dan peserta untuk mempersiap diri dalam pertandingan tersebut dari segi fizikal dan mental.\nPertandingan Deklamasi Sajak dan Dendangan Syair peringkat kebangsaan bersempena dengan Pertandingan Koakademik yang dianjurkan oleh DBP dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan berlangsung pada 25 dan 26 Ogos 2021. Pertandingan ini buat julung-julung kalinya diadakan secara dalam talian. Berikutan hal ini, beberapa perkara telah diperbaharui berdasarkan kesesuaian pertandingan. Hal ini kerana, pertandingan yang berlangsung secara maya ini memberikan beberapa impak baharu dalam dunia penyampaian puisi kerana peserta hanya beraksi di hadapan lensa kamera sahaja tanpa khalayak yang menonton secara bersemuka.\nSeperti pertandingan yang diadakan sebelum ini, setiap acara yang dipertandingkan pasti akan diberikan penilaian berdasarkan syarat yang telah ditetapkan. Menurut Roslan Madun, syarat pertandingan telah diberikan pembaharuan bagi memantapkan lagi kaedah penjurian pertandingan mengikut konteks situasi kini. Beliau turut menegaskan, para peserta remaja perlu lebih fokus mendendangkan syair mengikut wajah tersendiri sebagai tukang cerita semasa mendendangkan syair.\nZaen Kasturi pula menyatakan, apabila berhadapan dengan pertandingan deklamasi sajak kelaziman baharu seperti ini, asas persediaan awal adalah sama seperti pertandingan di atas pentas, cuma perlu diberikan kelainan baharu dari bentuk visual video yang dipersembahkan untuk melihat kreativiti peserta.\nTegasnya lagi, perkara yang perlu diberikan perhatian oleh pendeklamator ialah bentuk suara yang dilontarkan dan juga gaya yang dipamerkan. Pemarkahan dinilai berpaksikan dua bentuk tersebut. Dalam kupasannya, suara pendeklamator perlu mempunyai daya tarikan dan jiwa apabila menyampaikan bait-bait sajak tersebut. Lontaran suara dinilai dari sudut nada, vokal, artikulasi dan kelancaran dalam persembahan. Jelasnya lagi, teknik dan gaya persembahan di atas pentas berbeza daripada yang dipersembahkan secara maya. Teknik dan gaya persembahan akan dinilai mengikut kesesuaian sajak dan video yang dipaparkan. Beliau menyatakan lagi, aspek keharmonian suara dan visual persembahan yang menarik akan memberikan nilai tambah kepada peserta dan boleh memikat panel juri untuk memberikan markah yang baik.\nDari sudut syarat pertandingan dendangan syair pula, Roslan Madun memaklumkan semua peserta perlu akur dengan syarat yang telah ditetapkan. Perubahan syarat pertandingan diinovasikan mengikut zaman. Tegasnya lagi, konsep pertandingan \u00a0berbeza daripada persembahan yang bersifat santai. Namun, beliau mengingatkan peserta supaya menjaga ketertiban dalam persembahan. Peserta perlu ada kreativiti apabila mendendangkan syair, terutamanya semasa mendendangkan irama syair tersebut. Peserta juga perlu menguasai irama syair tersebut supaya tidak tersasar daripada irama yang telah dipilih. Beliau turut menambah bahawa antara aspek pemarkahan yang dinilai termasuklah kreativiti persembahan peserta dan visual, kualiti suara, irama, lenggok dendangan, kualiti muzik, artikulasi kata, teks puisi, penghayatan, dan kelancaran.\nKedua-dua panel turut menyeru agar para peserta membuat persediaan yang secukupnya supaya tidak merencatkan persembahan kelak. Kedua-dua panel juga menegaskan, peserta perlu yakin dan tenang semasa membuat persembahan untuk mengelakkan berlakunya kesilapan. Dalam hal ini, Roslan juga mengingatkan guru pembimbing supaya melihat kemampuan pelajar ketika memberikan bimbingan kepada mereka.\nTonton bual bicara penuh di sini." "Pelestarian Peribahasa Melalui Pemugaran dan Penyelidikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTanjung Mallim \u2013 Peribahasa merupakan hasil kesusasteraan lisan yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat Melayu. Peribahasa melambangkan adab dan sikap orang Melayu yang sangat halus dalam penyusunan tutur kata. Peribahasa terhasil apabila masyarakat Melayu dahulu mengamati alam sekeliling dan menterjemahkannya ke dalam kehidupan mereka. Hasil pengamatan itulah kata-kata disusun dengan baik dan dijadikan panduan hidup masyarakat Melayu dahulu. Itulah antara inti pati daripada ceramah yang disampaikan oleh Dr. Hazami Jahari, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang mewakili Ketua Pengarah DBP dalam program Pemugaran Peribahasa Siri 4 pada 26 Ogos 2021.\nProgram ini dianjurkan oleh Institut Peradaban Melayu (IPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris melalui Facebook Langsung IPM dan objektif utamanya adalah untuk menangani isu dan permasalahan dalam memahami peribahasa semasa proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Selain itu, program ini juga diharap dapat melestarikan peribahasa dalam masyarakat, terutamanya dalam kalangan generasi muda.\nProgram Pemugaran Peribahasa ini menampilkan 20 orang pakar yang terdiri daripada mereka yang terdiri daripada guru, pensyarah serta pakar dalam bidang persuratan. Manakala 200 ungkapan peribahasa akan dihuraikan dalam keseluruhan program pemugaran peribahasa ini.\nDalam ceramahnya, Hazami memberitahu bahawa peribahasa merupakan suatu cara untuk masyarakat Melayu mendidik anggotanya secara tidak formal untuk menjadi lebih baik. Didikan yang dilakukan ialah melalui kata-kata kiasan yang penuh dengan kebijaksanaan. Bahkan, kata-kata tersebut diambil daripada unsur alam yang memang sangata rapat dengan masyarakat Melayu tradisional. Beliau memberikan contoh apabila mereka hendak mendamaikan ahli keluarga yang berselisih faham, mereka akan menggunakan ungkapan \u201cair dicincang tidak akan putus\u201d bagi menunjukkan pergaduhan tersebut tidak perlu dipanjangkan lagi kerana hubungan antara ahli keluarga tidak akan terpisah kerana diikat dengan pertalian darah. Begitu juga jika seseorang ingin menegur sikap seseorang yang mementingkan diri sendiri, maka mereka akan menggunakan perumpamaan \u201cseperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing\u201d.\nDefinisi peribahasa dihuraikan dengan jelas oleh beliau dengan memetik pendapat daripada Abdullah Hussain (Kamus Istimewa Peribahasa Melayu) dan Tenas Effendy (Ungkapan Tradisional Melayu-Riau). Definisi daripada kedua-dua tokoh tersebut disimpulkan oleh beliau bahawa peribahasa merupakan susunan kata-kata yang indah dan mencerminkan bangsa Melayu sebagai bangsa yang sangat halus dan mempunyai peradaban yang tinggi, terutamanya dalam usaha mendidik masyarakat. Pelayar media sosial turut diberikan penerangan tentang tujuan peribahasa diajarkan. Antaranya, termasuklah untuk menasihati dan mendidik tanpa mengguris perasan orang yang dididik atau ditegur.\nDalam siri ini, sebanyak enam peribahasa dihuraikan beserta contoh ayat, iaitu \u201calah membeli menang memakai\u201d, \u201calang-alang berdakwat biar hitam\u201d, \u201cbaik membawa resmi padi, daripada membawa resmi lalang\u201d, \u201cberguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi\u201d, \u201cretak menanti belah\u201d, dan \u201calang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan\u201d.\nProgram ini sangat sesuai dilaksanakan ketika ini bagi memberikan kefahaman kepada masyarakat yang menimbulkan banyak persoalan tentang peribahasa dalam kalangan masyarakat hari ini. Dalam siri ini juga terdapat beberapa kemusykilan dan pendapat yang dikemukakan oleh pelayar. Antara yang menarik perhatian termasuklah mengenai penyelidikan tentang peribahasa yang perlu diperbanyak oleh institusi seperti DBP dan IPM. Penyelidikan yang perlu dilakukan ini perlu merangkumi pemetaan yang luas melangkaui garis sempadan negeri. Bahkan, penyelidikan tentang peribahasa juga boleh dilakukan melepasi garis sempadan negara. Kajian melepasi garis sempadan ini perlu dilakukan bagi melihat asal usul peribahasa itu mengikut konteks budaya masyarakat setempat. Dalam hal ini, Hazami selaku Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan mengatakan, kajian ini boleh dilakukan dengan kerjasama institusi lain, terutamanya IPM dan juga institusi awam yang lain melalui kajian lapangan supaya dapatan kajian tersebut tuntas dan tekal.\nDalam hal ini, penyelidikan juga menjadi sesuatu yang sangat penting dalam pelestarian ilmu persuratan. Dengan banyaknya penyelidikan yang dilakukan, maka penyebaran ilmu akan semakin meluas dan pelestarian ilmu dalam bidang persuratan dapat dilakukan. Aspek lain yang perlu diselidik bagi mengembangkan ilmu peribahasa termasuklah mengkaji cabang disiplin ilmu lain yang ada dalam peribahasa. Contohnya, ilmu matematik, ilmu kepimpinan, ilmu perniagaan dan sebagainya. Peribahasa \u201cmenang jadi arang, kalah jadi abu\u201d misalnya yang dikaitkan dengan keupayaan dalam perniagaan, boleh dikaji kebenarannya.\nHazami turut menerangkan kepada khalayak bahawa di DBP, bahagian yang menguruskan hal penyelidikan berkaitan peribahasa, pantun dan genre sastera yang lain ialah Bahagian Penyelidikan Sastera (yang berfungsi dalam penyelidikan selain mengangkat kearifan tempatan) dan perancangan penyelidikan yang jitu tentang perkara ini akan diusahakan, namun sokongan pelbagai pihak diperlukan dan kerjasama tersebut boleh digabungkan antara kepakaran dalaman yang ada di DBP dan tenaga pakara luar.\nCabaran yang dihadapi kini adalah untuk \u201cmenjinakkan\u201d generasi muda untuk minat terhadap peribahasa. Kaedah yang paling baik untuk menangani situasi ini adalah dengan memantapkan sistem pendidikan kita supaya generasi muda dapat menjiwai peribahasa sedari umur yang kecil lagi dan diterapkan dalam pelbagai aspek pembelajaran melalui didik hibur. Semoga peribahasa yang dibincangkan ini menjadi mesra kepada khalayak dan digunakan dalam perbualan seharian.\nTonton ceramah penuh di sini.\nBeli Kamus Istimewa Peribahasa Melayu, Peribahasa Sekolah Menengah, Peribahasa Sekolah Rendah, dan Pantun Peribahasa." "Cabaran Terkini Bahasa Melayu Moden\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam era kemajuan teknologi digital, bahasa Melayu moden menghadapi pelbagai cabaran bagi mengekalkannya sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu. Antara cabaran tersebut termasuklah yang disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang banyak mengubah budaya hidup masyarakat dengan kebiasaan baharu dan juga kemunculan istilah serta perkataan baharu. Jika semua pengguna bahasa Melayu faham, berilmu pengetahuan dan mempunyai kesedaran yang tinggi, semua perkara ini boleh diatasi dengan mudah. Sikap dan kesedaran yang tinggi ini akan menjadikan bahasa Melayu dapat bersaing dengan bahasa lain yang maju di dunia terutamanya bahasa Inggeris.\nFungsi bahasa Melayu sebagai bahasa moden yang digunakan sebagai bahasa komunikasi kini sebenarnya menyambung tradisi bahasa Melayu kuno dan klasik, yang menjadi lingua franca pada zaman dahulu. Fungsi bahasa Melayu moden ini bukan sahaja di media sosial dan media baharu malahan dalam komunikasi seharian. Sejarah mencatatkan bahawa bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan 1957. Di bawah peruntukan ini, bahasa Melayu yang mengikut implikasinya mesti digunakan untuk maksud rasmi dalam bentuk tulisan yang ditetapkan oleh undang-undang Persekutuan.\nPerkara 152 juga mengandungi kedudukan bahasa lain dan memperuntukkan bahawa tiada sesiapa dilarang atau dihalang daripada menggunakan atau belajar, mengajar, atau mengamalkan apa-apa bahasa lain. Taraf bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 itu mempunyai maksud dan kesan yang lebih luas berbanding dengan pengiktirafan sebagai bahasa rasmi.\nAntara kesan bahasa kebangsaan tersebut termasuklah bahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan secara automatik untuk digunakan dalam semua maksud rasmi. Takrif \u201cmaksud rasmi\u201d bagi bahasa Melayu dari segi undang-undang ialah apa-apa jua maksud kerajaan sama ada kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam. Takrif ini dinyatakan di bawah Perkara 156 (6), Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 1, Akta Bahasa Kebangsaan, 1967.\nBahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bagi menyatukan rakyat berbilang kaum melalui penggunaan bahasa yang sama. Oleh itu, bahasa ini juga menjadi pengenalan bagi bangsa dan negara Malaysia. Perpaduan yang jitu juga dapat diwujudkan dalam kalangan rakyat berbilang kaum apabila bahasa Melayu digunakan oleh semua pengguna bahasa.\nBahasa Melayu menjadi alat penghubung bagi rakyat pelbagai kaum di Malaysia kerana mereka telah mula memahami dan bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik. Bahasa Melayu bukan sahaja digunakan dalam urusan rasmi kerajaan, bahkan meliputi kehidupan seharian sebagai alat komunikasi yang penting secara lisan dan tulisan di media sosial dan media baharu\nKini banyak istilah dan perkataan baharu telah diwujudkan semasa pandemik COVID-19 menyerang Malaysia dan dunia. Antara perkataan tersebut termasuklah pandemik, kebiasaan baharu, kebolehjangkitan, pelitup muka, penjarakan fizikal, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), penilaian risiko, saringan wajib, Prosedur Operasi Standard (SOP), perintah berkurung, kontak rapat, zon merah atau titik panas, pencuci tangan, memutuskan rantaian jangkitan dan kluster, yang kini sudah mula diterima pakai dan menjadi kebiasaaan serta difahami oleh masyarakat umum.\nLantaran hal itu, cabaran yang dihadapi oleh bahasa Melayu kini semakin mencabar. Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa moden\u00a0 kini menghadapi pelbagai cabaran seperti persaingan dengan bahasa Inggeris khususnya dalam bidang kesihatan, sains teknologi dan profesional. Oleh itu, bahasa Melayu mestilah cepat dan pantas membentuk istilah mengikut keadaan semasa terutama semasa pandemik COVID-19.\nAntara cabaran lain ialah keperluan bagi seseorang itu menguasai pelbagai bahasa untuk memperoleh maklumat dan ilmu terkini dalam era globalisasi terutamanya yang berkaitan dengan teknologi digital yang cepat dan pantas berubah. Terjemahan perkataan baharu perlulah cepat dan pantas diakses serta mesra pengguna dan mudah diterima.\nSikap acuh tak acuh pengguna bahasa Melayu juga menjadi cabaran dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Setiap pengguna bahasa Melayu mestilah faham dan mempunyai ilmu serta kesedaran tinggi tentang betapa pentingnya bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa ilmu di media sosial dan media baharu. Terdapat banyak penggunaan kata singkatan dan kesalahan ejaan di media baharu dan media sosial yang digunakan oleh pengguna bahasa Melayu.\nOleh itu, langkah untuk mengatasi pencemaran bahasa terutamanya penggunaan bahasa Melayu yang salah serta leluasanya gejala bahasa rojak di media baharu dan media sosial perlu dibanteras. Hal ini boleh dilakukan jika pengguna bahasa sentiasa merujuk ejaan dan penggunaan bahasa yang betul melalui Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau merujuk pihak yang bertanggungjawab bagi penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat.\nPencemaran bahasa juga patut dihalang dalam penggunaan iklan dan papan tanda kedai baharu bagi mengelakkan kecelaruan bahasa. Utamakan bahasa Melayu yang betul dalam iklan, papan tanda atau nama kedai atau nama jalan dan nama bangunan yang boleh dirujuk kepada pihak berkuasa tempatan dengan seperti pihak penguat kuasa Majlis Tempatan dan Perbandaran. Kerjasama erat dalam penguatkuasaan itu telah dilaksanakan dengan kerjasama pihak DBP.\nDi samping itu, bahasa Melayu sebagai bahasa moden juga perlu dimajukan dan diperkemas untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa moden dan saintifik yang perlu diterima terus oleh orang ramai. Penerbitan bahan dan buku yang berkaitan dengan teknologi maklumat terbaharu dan bahan saintifik terkini juga perlu diperbanyakkan.\nMelalui perancangan taraf dan korpus pula, bahasa Melayu telah berkembang pesat dan mampu untuk menjalankan fungsinya sebagai bahasa moden. Bahasa Melayu moden kini terus berfungsi sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi dan bahasa perpaduan di negara ini dan di luar negara.\nSelain itu, kesedaran yang tinggi dan kecintaan dalam kalangan penutur bahasa Melayu yang terdidik sejak di sekolah rendah dan menengah serta di universiti mampu menjadikan bahasa Melayu dituturkan pada setiap hari dalam pelbagai acara dan juga sebagai alat komunikasi yang berkesan.\nSementara itu, melalui Dasar Perpaduan Negara 2021\u22122030 (30 tahun) yang dilancarkan baru-baru ini menggariskan strategi untuk memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan rakyat. Dasar yang berkonsepkan perpaduan dalam kepelbagaian itu menetapkan tiga objektif utama. Antaranya termasuklah mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara; membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, bertoleransi, saling menghormati dan bertanggungjawab untuk melahirkan\u00a0 rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan.\nOleh itu, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan memainkan peranan yang penting untuk mencapai aspirasi dalam tempoh 10 tahun akan datang. Malaysia menetapkan aspirasi perpaduan sebagai tunjang kemakmuran negara. Maka itu, perpaduan kepelbagaian yang berteraskan integrasi dipilih sebagai Dasar Perpaduan Negara sebagaimana yang dihasratkan oleh rakyat Malaysia.\nBahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi yang penting akan terus memainkan peranannya untuk terus mewujudkan perpaduan yang erat dalam kalangan rakyat di negara ini. Inilah antara cabaran terkini yang akan dihadapi oleh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan, dan bahasa komunikasi dalam kalangan rakyat di negara ini.\nBahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa moden juga akan mengukuhkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu memikul tugas sebagai bahasa rasmi, bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan umum, bahasa perpaduan, bahasa pengantar serta bahasa ilmiah di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Proses perancangan bahasa perlu terus dilakukan agar bahasa Melayu berupaya memikul tugas ini. Perkembangan bahasa Melayu moden ini dapat dilihat melalui proses perancangan bahasa yang pesat, banyak menerima pengaruh bahasa Inggeris, digunakan di media sosial dan media baharu dengan betul dan meluas, menggunakan laras bahasa yang pelbagai, banyak menggunakan ayat aktif dan banyak memanfaatkan kosa kata bahasa moden.\nUsaha perlu terus dilakukan oleh DBP untuk menyemak dan mengemaskinikan kandungan kamus dari semasa ke semasa. Antaranya termasuklah Kamus Dewan Edisi Kelima dan Kamus Bahasa Malaysia (Edisi Pelajar) yang memuatkan kosa kata masukan baharu seperti semasa dan selepas pandemik COVID-19 yang mempunyai banyak kata dan istilah baharu.\nKini Kamus Dewan Perdana, kamus Melayu terbesar dan terlengkap telah diterbitkan oleh DBP yang memuatkan lebih 120 000 entri dan subentri yang merangkumi kata umum, istilah, dialek dan kata bahasa serumpun yang wajar dimiliki oleh setiap orang, setiap rumah, setiap perpustakaan awam, sekolah dan universiti.\nDBP juga telah menyediakan Gerbang Kata Dewan Bahasa dan Pustaka (GKDBP), iaitu portal yang menyediakan kemudahan kepada pelayar internet untuk memberikan maklum balas dan input tambahan kepada kamus terbitan DBP, mencadangkan entri baharu yang belum terakam dalam kamus DBP dan merakamkan khazanah persuratan Melayu yang meliputi peribahasa, pantun, seloka, mutiara kata dan asal usul kata.\nSemua ini bertujuan untuk menyediakan ruangan kepada pencinta bahasa Melayu untuk memberikan input tambahan kepada kamus DBP. Selain itu, kosa kata dapat ditingkatkan jumlahnya melalui kerjasama pintar antara DBP dengan pencinta bahasa. DBP juga menyediakan kemudahan kepada pelbagai golongan masyarakat dalam merakamkan khazanah persuratan Melayu dan menyediakan kamus secara dalam talian yang kini semakin mendapat sambutan. Semua ini boleh dilayari melalui emel:[email\u00a0protected] atau http://ekamus.dbp.gov.my bagi memartabatkan bahasa kebangsaan kita.\nOleh yang demikian, cabaran terkini yang dihadapi oleh bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa moden akan lebih berdaya saing dalam pembentukan kata, istilah, perbendaharaan kata baharu dan mengemaskinikan ejaan yang sesuai dengan perubahan semasa yang semakin maju dan pantas.\nKesimpulannya, sebagai bahasa ilmu dan bahasa moden, bahasa Melayu juga janganlah terpinggir di media baharu dan di media sosial. Bahasa yang digunakan oleh pengamal dan pengguna bahasa Melayu mestilah berkualiti, betul, tepat dan berkesan dan tidak menggunakan singkatan serta bahasa rojak yang boleh merosakkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Perkembangan bahasa pada setiap hari juga berubah dan ada kata baharu dan istilah baharu yang terbit seiring dengan perubahan semasa." "Adaptasi Teks ke Pentas Mendekatkan Masyarakat kepada Karya Sastera Tanah Air\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGelugor, Pulau Pinang \u2013\u201cNaratifnya sama tetapi cara penyampaian dan pementasannya mungkin sedikit berbeza,\u201d demikian antara ungkapan Encik Halimi Mohamed Noh, dalam program Adaptasi Teks ke Pentas bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Pulau Pinang, yang berlangsung di Paseban Agung, Pusat Pengajian Seni (PPS), Universiti Sains Malaysia (USM).\nEncik Halimi Mohamed Noh yang merupakan mantan pensyarah USM dan pengarah teater menyatakan bahawa adaptasi sebagai satu proses mengolah semula tanpa mengubah isi-isi penting. Tambahnya lagi, setiap pengadaptasian itu berlaku atas sebab tertentu yang perlu disesuaikan untuk media baharu. Oleh sebab itu, berlakunya adaptasi teks ke pentas kerana tidak hanya terikat dalam bentuk teks, malah boleh dipentaskan dalam bentuk yang pelbagai.\nWalau bagaimanapun, sebagai seorang pengarah dan penulis skrip, perlulah ada sifat \u201ckesetiaan\u201d terhadap karya asal bagi menghormati penulis asal dengan tidak mengubahnya secara keseluruhan. Pengarah berhak mengolah teks asal tetapi perlu berbincang dengan penulis asal terlebih dahulu sebagai tanda penghormatan.\nMenerusi program tersebut, peserta diberi pendedahan tentang maksud adaptasi, perbezaan adaptasi dan olahan semula, proses pengadaptasian karya sastera kepada pementasan dan tatacara pengadaptasian naskhah.\nDr. Andika Aziz Hussin, selaku Pengerusi Rancangan Bahagian Drama dan Teater, PPS, USM, yang\u00a0 bertindak sebagai moderator pula menjelaskan bahawa adaptasi sebagai proses pemindahan teks sama ada berbentuk sajak, cerpen, skrip, drama atau novel yang diadaptasikan untuk dipentaskan. Program Adaptasi ke Pentas ini turut membicarakan adaptasi novel Musafir, karya Hasan Ali yang bakal dipentaskan bersempena dengan Pesta Teater USM.\nSementara itu, Encik Mohd Zulkamal Ismail atau nama penanya, Joe K.A.S turut menyentuh isu berkenaan hak cipta dan tatacara mengadaptasikan teks ke pentas. Menurut beliau, perkara pertama yang perlu diberi perhatian sebelum mengadaptasikan teks ialah ilmu yang berkaitan dengan teater.\nOrang yang mempunyai ilmu tentang teater akan melihat dari pelbagai sudut sama ada boleh dan tidak boleh dilakukan. Hal ini demikian kerana terdapat pelbagai kriteria yang perlu diketahui sebelum mengadaptasikan teks.\nMenurut Puan Fatimah Abdul Manaf, iaitu penulis skrip dan novelis pula mengatakan bahawa novel dan drama merupakan dua perkara yang berbeza. Bagi beliau, novel bercerita dari sudut pandangan yang terhad termasuklah dialog. Novel berbeza daripada drama yang ruangnya lebih besar.\nKarya picisan juga boleh dipentaskan sekiranya kandungan yang terdapat di dalamnya mempunyai pemikiran yang baik dan idea tersebut bernas. Dalam hal ini, karya picisan sebegini boleh dijadikan sebagai dokumentasi budaya kini yang memuatkan budaya dan pergolakan masyarakat pada masa ini.\nAdaptasi Teks ke Pentas yang dapat mendekatkan masyarakat kepada karya sastera tanah air melalui teater merupakan program jalinan kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dan PPS,USM ini turut dihadiri oleh Encik Rahimi Arifin, Pengarah DBPWU. Para peserta program pula adalah dari pelbagai agensi dan institusi, penggiat seni dan teater, peminat sastera, para pensyarah, pelajar institusi pendidikan tinggi dan pelajar sekolah menengah." "Koleksi Cerita Siti Mendidik dengan Nilai al-Quran\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMohd Shukrey Ahmad menemui nilai pendidikan Islam dan nilai murni yang positif dalam Koleksi Cerita Siti, siri buku puisi kanak-kanak oleh Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail yang sesuai untuk pembinaan sahsiah kanak-kanak.\nDi samping penerapan unsur keagamaan, karya ini juga mengangkat nilai kebudayaan, seperti busana Melayu, pertanian tradisional, seni lukisan dan cerita rakyat.\nKesusasteraan kanak-kanak sangat penting kepada masyarakat kerana dapat digunakan untuk mendidik sahsiah kanak-kanak yang merupakan generasi penerus pada jati diri bangsa, agama dan negara. Karya sastera kanak-kanak bukan sahaja berperanan memberikan hiburan tetapi juga dapat menyampaikan nasihat dan amanat kepada khalayak pembacanya. Atas besarnya peranan yang dipikul oleh karya sastera kanak-kanak tanah air yang mungkin kelihatan remeh dan kecil bagi sesetengah orang, karyanya perlulah diolah dengan nilai dan ilmu yang sesuai, seperti berpandukan al-Quran dan hadis, supaya kanak-kanak yang membaca karya sastera begini akan terbentuk sahsiahnya ke arah Muslim yang sejati.\nHal ini sejajar dengan kenyataan Abdullah Nashih Ulwan dalam Pedoman Pendidikan Anak-anak dalam Islam\u00a0bahawa kepuasan dalam intelektual perlu berkiblatkan Islam. Kepuasan ini menjelmakan perundangan dan dasar-dasar yang abadi dan boleh menyelamatkan manusia daripada kerosakan individual dan penyimpangan. Oleh sebab itu, dalam usaha pembentukan sebuah masyarakat yang berjaya, mereka perlu diberikan pendidikan yang berasaskan Islam supaya ilmu yang dipelajari selari dengan kebaikan di dunia dan di akhirat.\nDisedari, penjualan buku untuk kanak-kanak berunsur Islam juga masih kurang di pasaran jika dibandingkan dengan karya sastera Islam remaja dan umum. Setakat ini, kebanyakan buku kanak-kanak di pasaran tempatan ialah buku cerita import, khususnya dari Eropah. Anak-anak kita mungkin lebih mengenali Peter Pan, Pinocchio, Putera Katak, Puteri Beradu, Puteri Salju dan Tujuh Orang Kerdil, Orang Bunian dan Tukang Kasut, serta Rapunzel daripada buku cerita kanak-kanak tempatan. Namun, perkara yang dibimbangkan ialah nilai-nilai yang dibawa dalam karya import yang mungkin tidak selari dengan norma dan budaya tempatan.\nOleh sebab itu, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka telah berusaha menerbitkan buku puisi kanak-kanak, iaitu Koleksi Cerita Siti yang mempunyai empat judul, iaitu Kebun Rama-rama (2021), Kampung Pulau Kelapa (2021), Rumah Semut Kuala Abai (2021), dan Mimpi Si Ikan Kaloi (2021). Koleksi Cerita Siti yang bercerita dalam bentuk puisi sememangnya bertujuan untuk mendidik pembaca. Hasil penelitian terhadap karya yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara ke-14, iaitu Datuk Dr. Siti Zainon Ismail ini sememangnya telah menerapkan nilai al-Quran yang mampu memberikan bimbingan dan asuhan yang baik kepada pembaca kanak-kanak. Pengolahannya malah menggunakan diksi dan bahasa yang mudah untuk difahami semua. Ditambah pula dengan ilustrasi yang sangat menarik dan berwarna-warni yang mampu membawa pembaca kepada keseronokan serta mempertajam imaginasi kanak-kanak. Di samping penerapan unsur keagamaan, karya ini juga mengangkat nilai kebudayaan, seperti busana Melayu, pertanian tradisional, seni lukisan dan cerita rakyat yang boleh menambahkan lagi pengetahuan pembaca berkaitan kearifan nenek moyang bangsa Melayu.\nSurah An-Nahl Ayat 53\nBuku pertama Koleksi Cerita Siti ialah Kebun Rama-rama yang mengisahkan kehidupan sejenis serangga iaitu rama-rama yang telah memberikan keceriaan dan kegembiraan kepada kanak-kanak. Pengembaraan seorang kanak-kanak di taman bunga menyaksikan kitaran hidup seekor ulat beluncas dan akhirnya bertukar menjadi rama-rama yang terbang dengan indah. Perkara ini memperlihatkan ciptaan dan aturan daripada Allah SWT, yang merupakan suatu anugerah yang tidak ternilai kepada kehidupan manusia dan seharusnya disyukuri.\nPerkara ini juga dinyatakan dalam Surah An-Nahl, ayat 53 sebagaimana terjemahan berikut, \u201cDan segala nikmat yang ada padamu (datangnya) dari Allah, kemudian apabila kamu ditimpa kesengsaraan, maka kepada-Nyalah kamu meminta pertolongan.\u201d Hal ini jelas difahami bahawa setiap perkara yang diperoleh dalam kehidupan manusia merupakan nikmat rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT, dan hanya kepada-Nya sahaja rasa kesyukuran itu perlu ditunjukkan. Kefahaman untuk selalu bersyukur dan berterima kasih ini telah diterapkan dalam Kebun Rama-rama:\nAda rama-rama ikut datang\nMengikuti Kak Long pulang\nRama-rama menyanyi\nTerima kasih rezeki\nDaripada Ilahi.\n\n(Kebun Rama-rama, 2021:25)\nRangkap puisi di atas memperlihatkan watak \u201cKak Long\u201d yang mengucapkan terima kasih kepada Ilahi kerana mendapat rezeki berupa buah-buahan. Kepercayaan bahawa setiap rezeki yang diperoleh merupakan anugerah Allah SWT kepada hamba-Nya perlu dipadukan dalam diri setiap manusia. Oleh itu, secara tidak langsung puisi ini dapat mengajarkan para pembaca kanak-kanak untuk sentiasa mengucapkan terima kasih apabila mendapat nikmat dan rezeki daripada Allah SWT.\nSurah Luqman Ayat 10\nBuku kedua Koleksi Cerita Siti ialah Kampung Pulau Kelapa yang mengisahkan kehidupan masyarakat Melayu tradisional yang hidup di persisiran pantai. Buku cerita-puisi ini telah memanfaatkan tanaman serba guna dalam kehidupan masyarakat Melayu, iaitu pokok kelapa. Dengan menampilkan manfaat yang ada pada setiap bahagian pokok tersebut menjadikan kehidupan penduduk lebih sejahtera dan memudahkan aktiviti harian mereka. Perkara ini membuktikan bahawa setiap benda yang telah diciptakan di muka bumi ini sememangnya mempunyai peranan dan manfaatnya yang tersendiri kepada umat manusia. Hal ini dinyatakan dalam Surah Luqman, ayat 10 sebagaimana terjemahan berikut, \u201cDia menciptakan langit tanpa bertiang sebagaimana kamu melihatnya, dan Dia meletakkan gunung-gunung (di permukaan) bumi agar ia (bumi) tidak menggoyangkan kamu; dan memperkembangbiakkan segala macam jenis makhluk bergerak yang bernyawa di bumi. Dan Kami turunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan padanya segala macam tumbuh-tumbuhan yang baik.\u201d\nMelalui pembacaan terjemahan tersebut, Allah SWT telah memberikan rahmat kepada manusia dengan pelbagai nikmat rezeki, seperti binatang ternakan dan juga tanaman bermanfaat supaya manusia sedar akan kekuasaan-Nya. Pemahaman ini telah diterjemahkan dengan jelasnya dalam Kampung Pulau Kelapa, yang menunjukkan sejenis tumbuhan yang banyak memberikan manfaat kepada masyarakat Melayu dalam pelbagai segi, iaitu pokok kelapa:\nDaun kelapa dan sabut kering\nDiikat menjadi jamung\nJamung dibakar dan bernyala\nMemberi cahaya di malam hari\nUntuk kami pergi ke surau\nBelajar mengaji\nDi tangan ustaz rotan menanti\nYa Rabbi\nSungguh berjasa\nDaun, batang, buah, tombong, tempurung\nSemua berguna hidup berkampung\n\n(Kampung Pulau Kelapa, 2021:19)\nSurah An-Naml Ayat 18\nBuku ketiga Koleksi Cerita Siti ialah Rumah Semut Kuala Abai yang mengisahkan kehidupan muafakat sekumpulan semut di suatu kawasan bernama Kuala Abai. Kumpulan semut yang tinggal di tanah subur itu berasa sangat bahagia serta saling melindungi antara satu sama lain daripada ancaman bahaya. Perkara berkaitan kehidupan serangga ini juga dinyatakan dalam Surah An-Naml, ayat 18 sebagaimana terjemahan berikut, \u201cHingga ketika mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut, \u2018Wahai semut-semut! Masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan bala tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari.\u201d Pemahaman tentang kisah semut dengan Nabi Sulaiman a.s. ini telah diadaptasi dalam penulisan Rumah Semut Kuala Abai:\nRatu mengawal dengan senyuman\nRatusan ribu semut kerja suang malam\nSeperti cerita Nabi Sulaiman\nMengarahkan kuda jalan perlahan\nSelamatkan keluarga semut\nDi kebun kasih sayang.\n(Rumah Semut Kuala Abai, 2021:5)\nRangkap puisi di atas memperlihatkan berlakunya penceritaan semula kisah semut dengan Nabi Sulaiman, seperti yang dinyatakan dalam al-Quran apabila ratu semut memberikan arahan untuk mengawal ribuan semut supaya pekerjaan yang dilakukan lebih teratur. Melalui penerapan ini, pembaca kanak-kanak sudah pasti akan meneliti kisah positif yang dinyatakan dalam al-Quran ini untuk diterapkan dalam aktiviti harian.\nSurah Al-An\u2019am Ayat 73\nBuku keempat (dan terakhir setakat ini) Koleksi Cerita Siti ialah Mimpi Si Ikan Kaloi yang mengisahkan penderitaan seorang perempuan yang bernama Bawang Putih yang sering kali didera oleh ibu dan adik tirinya. Pelbagai penderitaan yang diharungi dengan tabah oleh Bawang Putih. Ibu tersayangnya dibunuh oleh keluarga tiri dan penderaan dan kebohongan terpaksa dilaluinya setiap hari. Tetapi pada akhirnya, apabila Bawang Putih mendapat kebahagian dalam hidupnya bersama-sama dengan seorang putera raja, beliau telah memaafkan dan menerima kembali keluarga tirinya itu.\nHal ini dilihat sebagai sesuatu perlakuan yang sukar dilaksanakan oleh manusia biasa tetapi jika ditakdirkan oleh Allah SWT, maka perkara tersebut akan terjadi. Perkara ini dinyatakan dalam Surah Al-An\u2019am, ayat 73 sebagaimana terjemahan berikut, \u201cDialah yang menciptakan langit dan bumi dengan hak (benar), ketika Dia berkata, \u2018Jadilah!\u2019 Maka jadilah sesuatu itu. Firman-Nya adalah benar dan milik-Nyalah segala kekuasaan pada waktu sangkakala ditiup. Dia mengetahui yang gaib dan yang nyata. Dia Yang Maha Bijaksana, Maha Teliti.\u201d Boleh difahami bahawa setiap perkara yang berlaku di dunia ini merupakan takdir yang telah dikehendaki oleh Allah SWT, malah segalanya berlaku tetap di bawah kekuasaan-Nya. Pemahaman inilah yang telah diterapkan dalam Mimpi Si Ikan Kaloi:\nDi alam jauh sana\nMak Kaloi tersenyum\nAtas restu Ilahi\nBawang Putih tiba di rumah keluarga\nBerbaik dengan Bawang Merah\nMak Mandak juga tersenyum gembira\nTiada iri dan benci\nKasih mewangi\n(Mimpi Si Ikan Kaloi, 2021:26)\nJelas melalui petikan di atas, Bawang Putih telah berbaik-baik dengan keluarga tirinya, iaitu Bawang Merah dan Mak Mandak \u201cAtas restu Ilahi\u201d. Hal ini tidak dijangka oleh manusia boleh terjadi, walaupun keluarga tiri Bawang Putih pernah menyeksanya demi kepuasan hati. Namun kuasa Allah SWT telah merubah hati Bawang Putih untuk memaafkan perbuatan buruk yang dilaluinya dan tidak lagi berasa benci dan iri kepada keluarga tirinya itu. Hal ini pasti mendidik pembaca bahawa setiap perkara yang telah ditakdirkan Allah SWT pasti akan berlaku juga.\nHikmah daripada pedoman al-Quran ini haruslah diambil perhatian oleh semua penulis sastera kanak-kanak tanah air. Usaha menerapkan pendidikan al-Quran dalam penulisan mereka sememangnya suatu kebijaksanaan yang dituntut. Pastinya, hal ini juga menjadi tugas besar kepada masyarakat untuk menyampaikan pendidikan kepada generasi muda supaya mereka terbentuk dengan sahsiah yang murni, selaras dengan kehendak agama Islam. Ditambah pula, dengan penerapan pendidikan Islam dalam karya pasti mampu mengangkat karya sastera kanak-kanak kita kepada suatu aras yang lebih tinggi, selain memberikan keyakinan kepada ibu bapa dan pendidik suatu pembelajaran alternatif yang sesuai dengan agama dan jati diri generasi mudanya.\nBeli Koleksi Cerita Siti Kebun Rama-rama, Kampung Pulau Kelapa, Rumah Semut Kuala Abai, dan Mimpi Si Ikan Kaloi.\n_________________________\nMohd Shukrey Ahmad berasal dari Pahang. Beliau banyak menghasilkan sajak yang tersiar dalam majalah Dewan Siswa, Dewan Budaya dan Dewan Tamadun Islam, selain banyak menyumbangkan puisi kanak-kanak dalam beberapa antologi puisi kanak-kanak." "Pameran Buku Antarabangsa Beijing Ditunda Ekoran Gelombang Baharu COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBeijing \u2013 Ketika industri buku mengharapkan cahaya di hujung terowong selepas melalui kegelapan sepanjang tahun lalu akibat pandemik COVID-19 untuk menyaksikan acara perbukuan diadakan kembali termasuk di China pada tahun ini, rupa-rupanya gelombang baharu virus corona varian Delta memadamkan harapan itu.\nPameran Buku Antarabangsa Beijing (BIBF) Ke-27 yang dijadualkan bermula 25 Ogos lalu, terpaksa ditunda kepada tarikh yang belum ditentukan berdasarkan notis ringkas di laman web rasminya.\nChina yang sebelum ini berjaya mengekang penularan wabak itu selepas ia merebak keluar daripada Wuhan, kembali bergelut dengan gelombang terbaharu COVID-19 sejak beberapa bulan ini.\nVarian baharu Delta yang menular dengan lebih pantas, mula dikesan di Nanjing, Jiangsu yang menyebabkan destinasi pelancongan dan kebudayaan tidak dibuka serta sempadan ditutup tetapi ia tetap merebak hingga kini membabitkan 10 wilayah.\nSebelum ini, BIBF dirancang bukan sahaja membenarkan kehadiran peserta dan pengunjung secara fizikal, bahkan menggabungkannya secara digital dengan menawarkan acara seperti forum, seminar, pertemuan bersemuka dan program lain.\nPaling menarik, BIBF edisi ini dirancang untuk menggunakan teknologi SMART!Assistant bagi membolehkan penerbit antarabangsa yang tidak dapat melakukan perjalanan keluar dari negara mereka untuk menampilkan buku terbitan mereka untuk pasaran China.\nPenganjur juga sebelum ini merancang untuk memperluas penggunaan perkhidmatan dalam talian SMART!BIBF\u00a0yang menawarkan akses berterusan kepada penerbit selama setahun selepas pameran buku. SMART!BIBF yang dilancarkan pada tahun lalu, dikatakan menarik lebih daripada 1400 penerbit, termasuk hampir 600 penerbit dan institusi di negara itu sendiri.\nSituasi terbaru COVID-19 ini tentunya merencatkan perkembangan positif tahun-ke-tahun yang ditunjukkan dalam separuh pertama 2021 apabila merekodkan peningkatan 11.45 peratus.\nMenurut Publishing Perspectives, saluran kedai buku fizikal mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 51.83 peratus tahun-ke-tahun untuk separuh pertama 2021, meskipun ia turut menyebabkan penurunan ketara jualan buku dalam tempoh sama pada tahun lalu.\nDalam tempoh sama juga, kedai buku dalam talian mengekalkan peningkatan positif meskipun dengan kadar yang rendah, iaitu 3.06 peratus.\nUntuk rekod, buku kanak-kanak secara tradisinya masih merangkumi segmen terbesar jualan buku meskipun jualannya menurun sedikit, iaitu pada kadar 3.21 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. Menurut Publishing Perspectives, peningkatan mendadak pada tahun lalu disebabkan ibu bapa membuat pembelian buku sebagai bahan bacaan untuk anak-anak mereka ketika perintah berkurung yang ketat dilaksanakan, selain pembelajaran di rumah.\nBagaimanapun, peningkatan jualan buku dalam genre undang-undang, budaya akademik dan ideologi berlaku, manakala genre popular, karya sastera serta seni pula merekodkan penurunan.\nSebalik penangguhan BIBF edisi tahun ini dan kesan varian Delta terhadap industri buku yang belum dapat diunjurkan lagi, tentunya penggiat dan pemain industri terbabit mengharapkan penularan ini tidak sampai membawa kegawatan yang kritikal." "Shaifuldhari Juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Negeri Terengganu 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Terengganu \u2013Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Negeri Terengganu 2021 yang berlangsung pada 28 Ogos 2021 telah menobatkan Shaifuldhari Abu Bakar sebagai juara, sekali gus menerima wang sebanyak RM1000. Beliau yang mendeklamasikan sajak berjudul \u201cApakah Masih Gelintar\u201d karya Amiruddin Ali telah menambat hati panel juri sayembara ini.\nShaifuldhari yang berasal dan menetap di Kuala Terengganu, telah bergiat dalam teater di bumi Darul Iman sejak tahun 1999. Beliau mengetepikan cabaran 11 orang peserta yang lain. Juri sayembara pada kali ini diketuai oleh Encik Abdul Mubin Ismail, Ketua Dua Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA), manakala dua orang juri lagi, iaitu Encik Syed Mohd Noor Tuan Long (SM Noor), Sasterawan Negeri Terengganu dan Encik Wan Zulkifli Wan Yaakob, bekas wartawan Utusan Malaysia.\nSayembara ini yang julung kali dilangsungkan secara dalam talian menyaksikan Nor Atiekah Hidayah Hussain yang menyampaikan sajak \u201cCitra Jiwa Merdeka\u201d karya Abdul Karim Gullam mendapat tempat kedua dan tempat ketiga pula disandang oleh Siti Nur Sharmiela Ayob yang turut mendeklamasikan sajak yang sama. Masing-masing menerima wang sebanyak RM700 dan RM500.\nSagu hati pertandingan pula menerima wang sebanyak RM200 setiap seorang yang dimenangi oleh Nik Amierah Noor Umairah Maroof, Nurul Ilyani Abdullah dan Nik Amierah Noor Aisyah Maroof.\nProgram yang dianjurkan oleh PELITA dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) ini telah disempurnakan oleh Encik Mohd Azam Juhari, Pengarah DBPWT. Dalam ucapannya, Encik Mohd Azam menyeru agar para peserta sentiasa berusaha gigih menyertai mana-mana bengkel deklamasi puisi untuk meningkatkan kualiti dan penyampaian puisi.\nEncik Abdul Mubin ternyata berpuas hati dengan persembahan semua peserta yang mengambil bahagian. Dalam ulasannya, beliau menekankan agar para peserta dapat meningkatkan penguasaan dalam mendeklamasikan puisi terutamanya ketika meletakkan nada yang bertepatan dengan sajak, menampilkan artikulasi yang lebih jelas, mengenakan jeda yang betul dan intonasi yang pelbagai supaya penghayatan yang lebih jitu dan makna sajak lebih \u201csampai\u201c kepada pendengar.\nTegas beliau lagi, bahasa tubuh pula hendaklah selari dengan makna atau perkataan sajak yang dilafazkan. Beliau mengingatkan pendeklamasi yang terpilih mewakili negeri Terengganu nanti supaya lebih bersedia dan berusaha dengan gigih agar dapat meningkatkan penghayatan dan juga mutu persembahan seterusnya dapat bersaing dengan peserta yang lain.\nKetua Satu PELITA, Encik Kamarulzaman Ismail mengucapkan terima kasih kepada DBPWT sebagai peneraju utama program dan GAPENA yang sentiasa membantu PELITA dalam memastikan setiap program sayembara puisi peringkat negeri Terengganu ini berjalan lancar.\nTambah beliau lagi, pihak PELITA akan berusaha untuk mengekalkan pelaksanaan bengkel deklamasi sebelum setiap sayembara diadakan untuk membimbing dan meningkatkan kualiti penyampaian peserta dengan mengundang tokoh pendeklamasi sajak terkenal tanah air." "Menekuni Kesusasteraan Bersama Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Liga Penulis Kelantan (LPK) yang mula muncul dalam arena sastera Kelantan sejak tahun 2018 sentiasa memeriahkan perkembangan kesusasteraan negeri tersebut dengan pelbagai program persuratan, diskusi dan bimbingan penulisan kreatif. LPK dipengerusikan oleh Mohd Dahri Zakaria yang merupakan aktivis sastera dan perbukuan yang tidak asing lagi dalam kalangan para penulis dan sasterawan, terutamanya di negeri Cherang Tegayong tanah Tok Janggut, Kelantan Darul Naim.\nKini, Liga Penulis Kelantan meneruskan lagi program membina pelapis baharu dalam jagat penulisan kreatif melalui Bengkel Cerpen Hujung Minggu yang dibimbing oleh pengarang yang cukup dikenali, iaitu Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari. Rosli merupakan sasterawan serba boleh Kelantan yang menulis dalam pelbagai bidang penulisan kreatif. Acara yang diadakan melalui ruang maya Google Meet ini merupakan siri ke-2, lanjutan daripada edisi pertamanya minggu lalu yang telah dirasmikan oleh Dato\u2019 A. Aziz Deraman, Presiden PERADABAN. Program yang bermula pukul 9.00 malam pada 26 Ogos 2021 itu berlanjutan hingga sekitar jam 11.00 malam, diakhiri dengan sesi soal jawab. Ceramah pembukaan yang disampaikan oleh Rosli berkisar perihal pengenalan tentang perkembangan kesusasteraan Melayu moden di Malaysia sejak awal tahun 1800.\nPerkembangan kesusasteraan Melayu moden seawal zaman Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi turut diperinci dengan panjang lebar oleh Rosli. Lebih menarik, karya pertama Abdullah berjudul Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan\u00a0menampilkan kembaranya menggunakan kapal laut ke Kelantan. Beliau sendiri menyanggah pendapat kebanyakan sarjana yang mengangkat Abdullah Munsyi sebagai pelopor sastera Melayu moden, malah pandangan Profesor Naquib al-Attas yang meletakkan Hamzah Fansuri sebagai pelopor kesusasteraan Melayu moden dalam bukunya Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu\u00a0juga turut tidak dipersetujui Rosli.\nBagi Rosli sendiri, pelopor kesusasteraan Melayu moden ialah Ahmad Rijaluddin yang mengarang Hikayat Perintah Negeri Benggala\u00a0dan dikarang 27 tahun lebih awal daripada karya Abdullah Munsyi tadi, iaitu sekitar tahun 1811. Naskhah tersebut kemudiannya diterbitkan oleh John Crawfurd di Pulau Pinang berdasarkan transliterasi yang dibuat oleh C. Skinner daripada manuskrip asal yang tersimpan di British Library, London. Namun begitu, menurutnya, karya Abdullah Munsyi tersebut tetap mempunyai nilai kesenian dan keintelektualan yang tinggi serta turut mengandungi kritikannya terhadap raja-raja Melayu.\nBeliau kemudian turut memuji sumbangan Kassim Ahmad, selain sebagai penyair tersohor yang aktif berkarya seawal dekad 60-an dan 70-an, Kassim jugalah yang bertanggungjawab melakukan kajian dan transliterasi terhadap naskhah Hikayat Hang Tuah yang sampai ke tangan kita hari ini. Malah, Kisah Pelayaran Abdullah yang pernah diterbitkan oleh Oxford University Press pada tahun 1960 itu juga merupakan hasil kerja Kassim Ahmad.\nBahasan yang panjang lebar turut dikemukakan tentang kemunculan karya awal dalam bidang penulisan novel, cerpen, sajak dan drama. Penulis dengan nama Madrasi atau nama sebenarnya Nor bin Ibrahim yang bertanggungjawab menghasilkan cerpen \u201cKecelakaan Si Pemalas\u201d (Pengasuh Jilid 2 Bil.40, 4 Februari 1920) dianggap sebagai cerpen paling awal disiarkan di media cetak. Namun, kata Rosli lagi, kajian lebih mendalam perlu dilakukan bagi mengesahkan benar atau tidak dakwaan yang mengatakan pengarang tersebut juga merupakan Mufti Kelantan pada ketika itu.\nRosli sendiri sebagai penulis mengakui bahawa beliau ketika di tingkatan empat sudah pun menulis skrip drama radio. Salah satu kenyataan Rosli yang mengejutkan dalam ceramahnya itu ialah penegasan beliau tentang kepenyairan Rudi Mahmood.\nMenurutnya, Rudi merupakan penyair nombor satu Malaysia dan jika dibandingkan dengan Latiff Mohidin sekalipun, Rudi jauh lebih hebat. Menurutnya lagi, generasi penulis yang ada hari ini masih belum dapat menandingi generasi penulis yang muncul pada dekad 70-an, kerana dari sanalah lahirnya Muhammad Haji Salleh, Kassim Ahmad, Latiff Mohidin dan beberapa nama lagi yang memberikan jejak yang begitu berbekas pada sastera Malaysia sehingga ke hari ini.\nBagi Rosli, generasi penulis 1980-an ialah generasi yang paling malang dalam sejarah kesusasteraan kita kerana seperti tidak ada langsung diperkatakan berkenaan penulis generasi tersebut. Pesannya kepada para penulis muda, \u201cBacaan mesti luas. Penulis apa jika tidak mahu membaca. Perlu cekal, dan cari identiti dalam satu-satu bidang (penulisan) yang diceburi.\u201d\nBengkel anjuran Liga Penulis Kelantan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur dan PERADABAN ini mendapat sambutan baik daripada para penulis dalam negeri dan juga dari luar Kelantan. Turut ikut serta sebagai peserta-penonton kali ini termasuk Abdul Razak Othman, Tuan Siti Mastazameatun, Wee Soo Lian, Mohd Zuharman, Zaidi Ismail, Nik Hafiz, Haji Ezani Haji Daud, Abu Haikal, Suhaimi Ibrahim, Chu E. Liang, dan salah seorang Ahli Lembaga Koordinator LPK sendiri, N. Faizal Ghazali (sekadar menyebut beberapa nama). Seorang lagi Ahli Lembaga Koordinator LPK, Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub (Nimoiz T.Y) bertindak sebagai pemudah cara sekali gus menguruskan bahagian teknikal bengkel, dan turut dibantu oleh Ikhram Fadhly Hussin bagi pihak DBP Wilayah Timur sebagai penganjur bersama.\nBengkel ini akan diteruskan lagi pada waktu yang sama minggu hadapan, iaitu pada hari Khamis jam 9.00 malam dengan tumpuan kepada kesusasteraan Kelantan secara khusus, sebelum panel bercakap tentang penulisan cerpen dengan lebih mendalam pada minggu-minggu yang seterusnya. Kepada para penulis pemula tanpa mengira usia yang berminat untuk menjadi peserta bengkel istimewa ini, boleh rujuk halaman Facebook Liga Penulis Kelantan untuk mendapatkan maklumat lanjut." "Adakah Penulis Wanita Sudah Keluar dari Kepompong Domestik?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerbahasan mengenai gender bukanlah sesuatu yang baharu. Stigma tentang wanita penuh beremosi, garapan gaya feminin dan pemikiran mereka dalam pengkaryaan memberikan persepsi bahawa karya mereka lemah. Dalam dunia penulisan, penulis wanita disarankan menggunakan nama pena lelaki ataupun nama yang tidak feminin serta menulis dengan gaya maskulin supaya karya mereka diterima dengan lebih baik dan meluas tanpa prejudis. Kononnya, hal yang dialami oleh penulis wanita tidak berlaku pada penulis lelaki dan mereka lebih bebas dalam pengkaryaan mereka.\nSiri Wacana PENA ke -7 dengan tajuk \u201cWanita Penulis Domestik, Lelaki Penulis Publik?\u201d membawakan perkongsian menarik menerusi panel tetap Dr. Saleeh Rahamad, panel undangan Prof. Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman serta S.M. Zakir, dan moderator tetap Mohd Khair Ngadiron.\nDr. Saleeh menyatakan isu ini wajar dibincangkan kerana walaupun isunya suatu persepsi umum tetapi terdapat bukti, hanya terdapat dua wanita daripada 14 Sasterawan Negara. Wacana ini dilakukan untuk menimbulkan suatu bentuk ransangan kepada penulis wanita supaya menghasilkan karya yang lebih universal dan tidak lagi terkepung dalam dunia emosi dan kekal dengan stigma penulis domestik.\nNamun begitu, S.M. Zakir menyangkal bahawa pada masa sekarang, tiada lagi isu gender, malah isu feminisme sudah lapuk. Baginya, perbezaan penulis wanita dan lelaki adalah lebih kepada sudut pandang daripada persekitaran dan ekosistem yang membentuk mereka. Kini, ruang gender sudah beralih, dipecahkan dan tiada sempadan.\nS.M. Zakir menerangkan perbandingan antara idealisme domestik dengan publik menerusi perlambangan rumah. Domestik seperti sudut pandang dapur yang menguruskan logistik, makanan dan pendidikan. Publik pula menggunakan sudut pandang ruang tamu, tempat bertemu tetamu, pertembungan dengan orang luar, berfikir dan mengawal isu-isu besar dan universal daripada hal-hal domestik.\nSudut pandang domestik sesuai dengan pengarang wanita dari segi emosi dan keperluan hal perkembangan, antaranya seperti pembinaan masyarakat dan pendidikan. Mereka akan melihat dahulu hal-hal kekeluargaan, rumah tangga dan masyarakat sebelum hal-hal yang lebih besar.\nSifat lelaki pula tidak akan terfokus pada hal rumah tangga semata-mata, tetapi lebih berfokus kepada konflik dan pertembungan di luar. Maka menurut Zakir, domestik dan publik ialah perbezaan cara fikir dan sudut pandang semata-mata. Sebenarnya, sudah ada penulis wanita yang tidak lagi melihat kepada perjuangan wanita dan menggunakan sudut pandang ruang tamu. Antaranya termasuklah Azmah Nordin, Hafizah Iszahanid, Ruhaini Matdarin, Rohani Deraman, Sri Rahayu Mohd Yusop, dan Fazleena Hishamuddin. Ada pengarang wanita yang karyanya sukar ditebak gender pengarangnya, menulis persis pengarang lelaki, seperti Harper Lee di luar negara, Mahizan Husain dan Raiha Bahaudin di Malaysia. Menurut beliau, hal ini menunjukkan, tidak semua pengarang wanita terperangkap dalam gaya penulisan feminin dan mampu menulis dalam gaya maskulin. Hal ini bukan lagi tentang perihal gender tetapi bagaimana penulis membawa pemikiran dan keberanian melawan tabu.\nDr. Hayati pula menyambung dengan menyatakan, perbincangan ini sangat baik untuk memberikan motivasi dan semangat kepada pengarang wanita supaya mereka lebih ke hadapan dan keluar daripada ruang domestik dan berwacana sebagaimana pengarang lelaki yang lebih terbuka sifatnya di ruang awam.\nMenurut kajian Hayati, beliau meletakkan penulis wanita dalam tiga jalur. Jalur pertama ialah penulis yang cenderung menulis hal domestik dan berusaha membebaskan diri daripada kongkongan adat dan patriarki, serta keluar daripada kepompong domestik. Jalur kedua ialah penulis yang telah keluar daripada kepompong domestik, memperkasakan wanita menerusi perjuangan dalam pelbagai aspek kehidupan mereka, seperti pendidikan, ekonomi, sosial dan politik. Jalur ketiga ialah ruang yang lebih besar dan luas untuk diterokai, dan tiada hubungan mengenai wanita dan kewanitaan sama sekali. Ketiga-tiga jalur ini bergantung pada kecenderungan pengarang wanita apabila menulis tentang subjek mereka.\nBagi beliau, pengarang wanita perlu keluar daripada kepompong domestik, berwacana dengan isu dan ideologi yang lebih besar, menghasilkan karya yang berkualiti dan bermerit tinggi supaya karya mereka mendapat pengiktirafan negeri, negara dan antarabangsa.\nDalam memerihalkan penulisan isu domestik dalam sastera tinggi pula, Saleeh menyatakan karya melankolik sukar untuk diangkat sebagai karya bernilai sastera tinggi kerana penulisannya taasub dengan emosi dan memikirkan hal yang enteng dan remeh-temeh. Dari satu segi, wanita terkongkong dengan masa, keberanian dan pendedahan daripada lelaki. Isu domestik yang berulang akan meremehkan merit, tidak kira gender. Para penulis perlu mencari aspek kebaharuan sebagai tanda kreatif.\nDalam hal ini, S.M. Zakir menekankan kepentingan novel kerana genre penulisan inilah yang menjadi penanda aras untuk dibawa ke luar negara, mewakili sastera Malaysia. Baginya, kini semakin ramai penulis wanita menjadi novelis prolifik, manakala penulis lelaki semakin menjadi minoriti yang akhirnya dihimpit dan diasak, lalu membawa diri menjadi penyair. Jika dulu, ruang dapur untuk wanita, sekarang mereka sudah boleh merentas ruang dan kini ada pula lelaki yang berada di ruang dapur. Menurut Zakir, kedua-dua gender kini boleh membawa kedua-dua ruang, baik dapur mahupun ruang tamu.\nSiri wacana ini telah disiarkan secara langsung menerusi Facebook Persatuan Penulis Nasional Malaysia pada 29 Ogos 2021 pada jam 9.00 malam dan boleh ditonton di sini." "Raja Rajeswari Terima Anugerah Sastera Bersempena Hari Kemerdekaan India\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPenulis, penyair, penterjemah dan mantan pensyarah, Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman, merupakan salah seorang pemenang anugerah sastera dari India, bersempena Hari Kemerdekaan negara itu yang ke-75 pada 15 Ogos 2021. Anugerah sastera ini diberikan oleh Motivational Strips dan Akademi Sahitya Gujerat.\nMotivational Strips ialah platform forum penulis dari seluruh dunia yang diasaskan oleh Shiju H. Pallithazheth. Saban tahun, bersempena Ulang Tahun Kemerdekaan India pada 15 Ogos, forum ini yang dikunjungi lebih daripada tujuh juta penulis setiap hari akan menganjurkan sebuah anugerah sastera, gabungan bersama Akademi Sahitya Gujerat serta kerajaan Peru, Seychelles, India, Mauritius, Congo, dan Brazil.\nRaja Rajeswari ialah penulis yang prolifik dalam pengkaryaan puisi dan gigih dalam kegiatan menterjemahkan naskhah sastera. Anugerah ini dihadiahkan kepada beliau atas usahanya dalam kegiatan sastera bersama-sama forum ini yang melibatkan kerja terjemahan naskhah sajak bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris, sebagai usaha memperluaskan capaian kesusasteraan Malaysia kepada khalayak antarabangsa.\nDalam kalangan pemenang dari Malaysia, Rajeswari juga merupakan pemenang tunggal yang menghantar karya bahasa Melayu ke dalam forum penulis antarabangsa ini.\nDalam temu bual bersama-samanya, beliau meletakkan kedudukan beliau sebagai penterjemah yang harus bertanggungjawab menyampaikan karya sastera Melayu kepada khalayak dunia, untuk melibatkan sastera tempatan ke dalam ranah weltliteratur.\n\u201cPresiden forum Motivational Strips juga mengajak lebih ramai penulis Malaysia untuk menyertai forum ini dan mengantarabangsakan bahasa Melayu,\u201d ujar beliau.\nPenulis dan penyair tempatan lain, iaitu Lilian Woo, Dr. Paul Sebastian dan Alan Liew juga memenangi anugerah ini, mengulangi kejayaan mereka memenangi hadiah sastera yang sama pada Ulang Tahun Kemerdekaan India yang ke-74, tahun lepas.\nPenulis-penulis lain yang dibariskan sebagai penerima anugerah ini melibatkan 82 buah negara dan 440 orang penulis. Mereka merupakan ahli sasterawan ternama yang amat aktif dan banyak menyumbangkan titik peluh serta karya demi ranah sastera negara." "Raja Rajeswari: \u201cPeluang Mengantarabangsakan Sastera Bahasa Melayu\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nProgram Anugerah Sastera tahunan bersempena Ulang Tahun Kemerdekaan India ke-75, daripada Motivational Strips anjuran bersama Akademi Sahitya Gujerat dan kerajaan gabungan peringkat antarabangsa itu baru sahaja melabuhkan tirai pada 15 0gos, menyenaraikan 440 orang penulis dari 82 buah negara serata dunia telah menerima anugerah itu.\nEmpat orang penulis Malaysia juga mendapat kehormatan menerima anugerah tersebut, yang tiga daripadanya merupakan penulis berbahasa Inggeris; Lilian Woo, Dr. Paul Sebastian dan Alan Liew, selain Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman yang berkarya dalam bahasa Melayu.\nMotivational Strips (MS) ialah sebuah forum, yang bermula hanya sebagai sebuah laman di Facebook, dan kini berdiri sebagai platform forum penulis dari seluruh dunia untuk membahaskan dan memperluas karya mereka. Forum ini diperkatakan oleh para penulis yang mengenalinya sebagai sebuah forum gergasi yang aktif dengan tujuh juta penulis yang berinteraksi dan bertukar karya setiap hari.\nPengasas MS ialah Shiju H. Pallithazheth, penulis yang berasal dari Oman, yang juga kini menjawat sebagai Presiden Bersama untuk World Nation Writers Union (WNWU), Kazakhstan. Tujuan diwujudkan organisasi dan forum ini adalah sebagai platform karyawan sastera untuk mengantarabangsakan nilai sastera mereka.\nRaja Rajeswari kini giat menghantar puisi-puisi beliau ke dalam forum ini, di samping wujudnya pilihan luas untuk menghantar apa-apa jenis karya asalkan naskhah sastera.\n\u201cApa yang menariknya, penulis boleh menghantar karya mereka dalam apa-apa jenis bahasa, malah adalah digalakkan untuk menghantar karya dalam bahasa kebangsan,\u201d tambah Rajeswari.\nJelas beliau, forum MS memang menggalakkan penulis menghantar karya dalam bahasa kebangsaan, namun perlu disertakan bersama terjemahan ke dalam bahasa Inggeris. Terjemahan itu penting supaya peserta forum lain yang berasal dari negara lain berpeluang untuk memahami dan membahas karya tersebut.\nPenulis yang ingin mendapat sumber, maklumat atau bahan untuk penulisan juga boleh disantuni melalui forum ini. Malah, buat penulis pemula yang ingin menerbitkan karya mereka, forum ini juga berperanan sebagai panduan dan ruang untuk para penulis berbincang isu yang berkaitan.\nRajeswari, seorang penyair dan penterjemah bertauliah, mengambil peluang ini untuk mengangkat karya sastera tempatan. Pihak MS akan melantik beberapa panel untuk membahas karya tersebut, dan ternyata karya-karya terjemahannya menarik minat beberapa pihak dari luar negara.\n\u201cSalah satu kelainan yang saya bawa dalam forum itu adalah dengan mengangkat tema Malaysia dalam puisi saya. Bersepadan dengan pandemik yang sedang melanda, memang karya berkenaan virus dan wabak adalah antara yang banyak ditulis. Jadi di tengah-tengah situasi ini, saya bawa citra budaya Malaysia, contohnya tema wau dan busana batik.\n\u201cSaya juga sedang dalam proses menyiapkan sebuah puisi berkenaan Jalur Gemilang untuk dihantar dalam forum MS dalam masa terdekat,\u201d ujar Rajeswari yang memang gemar berkarya dengan identiti Malaysia.\nDi samping itu, beliau juga menyuarakan rasa terpanggil untuk menyeru lebih ramai lagi penulis bahasa Melayu agar dapat bersama-sama mengukuhkan lagi premis sastera bahasa Melayu dalam ruang maya antarabangsa, seperti forum MS.\nSelain penulis Indonesia yang memang sedia meriah berkarya dalam forum MS, penulis Malaysia pula sekarang berada dalam bilangan yang sangat minima. Ujar beliau, mereka yang ada pun merupakan penulis yang berkarya dalam bahasa Inggeris. \u201cHasrat utama saya selepas menerima anugerah ini ialah menyeru ramai lagi penulis-penulis bahasa Melayu untuk menyertai forum ini dan bekerjasama mengantarabangsakan sastera kita.\u201d\nSelain Rajeswari, penulis tempatan lain yang giat membantu pengurusan MS di Malaysia ialah Lilian Woo, penyair dan penulis bahasa Inggeris. Pihak pimpinan forum merasakan pentingya mengambil karyawan bahasa Melayu supaya dapat menambahkan pengetahuan mereka berkenaan dimensi sastera tempatan.\n\u201cCita-cita untuk mengangkat sastera kita ke peringkat antarabangsa memang sudah wujud dari dahulu, dan di sini telah terbit seruan untuk mempopularkan sastera kita, maka marilah kita memanfaatkannya,\u201d jelas Rajeswari.\nKini, jalan sudah terbuka luas untuk menyambut peluang mengantarabangsakan bahasa Melayu.\nForum MS boleh dilawat di laman Facebook ini dan laman rasminya di sini." "Mengolah Pengalaman Perubatan dalam Fiksyen\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nFiksyen bukan hanya dibina dengan pengalaman, pengetahuan dan imaginasi, sebaliknya gabungan ketiga-tiganya mampu memberikan impak yang lebih baik kepada pembaca. Hal ini disebutkan oleh penulis dan doktor perubatan, Yang Berusaha Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain sewaktu mengulas novel beliau, Cinta Nan Bersemi Kembali dalam program Bicara Karyawan di laman Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 12.00 tengah hari tadi.\nNik Hazlina berkata, secara umum naskhah itu yang diterbtkan tahun lalu adalah sebahagian daripada himpunan pengalamannya sebagai doktor perubatan yang diadunkan dengan emosi dalam pembinaan watak pasangan suami isteri, Aidid dan Eliza.\nKatanya, naskhah itu pada umumnya mengenai pasangan Aidid dan Eliza yang sudah melangkah ke usia emas dan diuji apabila Eliza berhadapan dengan masalah komplikasi fibroid.\n\u201cFibroid ini masalah yang umum dan biasa ditemui pada wanita. Bagaimanapun, dalam konteks Cinta Nan Bersemi Kembali, ia menimbulkan konfik yang menguji kesetiaan dan menggoyahkan kasih sayang,\u201d katanya.\nMenambahkan lagi konflik, kehidupan pasangan suami isteri ini diuji pula dengan kemunculan orang ketiga yang lebih menekan Eliza.\nTegas Nik Hazlina, adakala panduan kesihatan yang bersifat akademik kurang sampai kepada pembaca atau masyarakat, tetapi apabila fakta ilmu diadun dalam bentuk fiksyen dan disuntik dengan emosi, ia akan mudah untuk masuk ke dalam hati pembaca.\n\u201cSaya berharap naskhah ini mampu menjadi panduan dan inspirasi untuk pembaca yang berhadapan dengan masalah yang sama,\u201d katanya.\nNovel Cinta Nan Bersemi Kembali setebal 246 halaman ini diterbitkan oleh DBP pada tahun 2020 dan dijual dengan harga asal RM30.\nTonton bicara penuh di sini. Beli novel Cinta Nan Bersemi Kembali di sini." "Merobohkan Mitos Paling Agung dalam Sastera dan Sains\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKolumnis Rem Dambul mengambil iktibar daripada perkembangan apresisasi sains demi mencari jalan tengah susastera agar dapat diapresiasikan dengan lebih adil.\nAda ramai yang berkemahiran tinggi dalam bahasa, tetapi tidak mampu menakluk arena sastera.\nMeskipun bahasa dan sastera saling bersinergi dengan intim, namun kedua-duanya sebenarnya sangat berbeza. Bahasa ialah ekspresi dalam sesuatu komunikasi, sama ada secara lisan atau bertulis. Sastera pula ialah inti pati pemikiran dan refleksi sosiobudaya yang teradun dalam ekspresi tersebut. Maksudnya, bahasa ialah komponen asas yang menghasilkan sastera sebagai satu struktur binaan yang lebih bermakna.\nBarangkali dalam satu analogi mudah, bahasa boleh dianggap sebagai acuan, manakala sastera pula ialah kandungan isi di dalamnya. Ya, memang benar bahawa seseorang yang menguasai aspek bahasa dengan cemerlang, boleh bersandar pada kelebihan tersebut untuk menghasilkan karya sastera yang lebih bermutu. Tetapi ini bukanlah satu korelasi mandatori.\nMalah, ada ramai yang berkemahiran tinggi dalam bahasa, tetapi tidak mampu menakluk arena sastera. Begitu juga, ada ramai penulis yang memiliki daya kesusasteraan unggul, tetapi tidak pun dibekalkan dengan latar ilmu yang tinggi dalam bahasa. Seseorang yang arif tentang acuan kek \u2013 sehingga mampu mengenal pasti jenis, bentuk serta semua material loyang tembikar dan logam \u2013 tidak semestinya pandai membuat kek yang sedap.\nBahasa hanyalah alat untuk menghasilkan sastera. Kemahiran menggunakan bahasa lebih berciri teknikal dan akademik, yang banyak dipandu oleh logik. Sedangkan sastera pula menuntut ilham seni dan kreativiti, sejenis bakat yang lebih dipandu oleh jiwa nurani. Mengapa saya menimbulkan persoalan ini, dan apakah signifikan dengan situasi persuratan masa kini?\nRamai yang selalu keliru dengan dua cabang berbeza ini. Selalu benar pakar bahasa secara natural dianggap sebagai pakar sastera, dan begitu juga sebaliknya. Kekeliruan-kekeliruan begini sering kali mengundang pelbagai masalah, khususnya yang melibatkan proses penilaian kualiti dan merit kesusasteraan. Namun demikian, jika anomali ini dibangkitkan, ada sesetengah orang akan tersinggung dan makan hati. Kerana pada pemahaman majoriti, sastera dan bahasa bukan sahaja dua item yang amat serasi, bahkan dianggap satu pakej wajib yang tidak boleh dipisahkan.\nMitos sastera yang sebegini turut wujud dalam sains teknologi. Ramai yang tidak cukup pintar untuk membezakan antara sains dan teknologi. Seseorang yang dianggap mahir dalam sains, secara automatik dijulang sebagai pakar teknologi. Begitu juga, ramai yang masih mempercayai bahawa tanpa pengetahuan sains yang mencukupi, seseorang tidak akan mampu mencipta teknologi. Seolah-olah gandingan sains dan teknologi itu terkunci mati dalam satu rantai yang sama. Pun begitu, khilaf perspektif seperti ini dalam kalangan komuniti saintis dan teknologis semakin dapat ditangani.\nSama seperti sastera yang dibina sebagai satu hasil pemikiran dan gagasan idea melalui ekpresi bahasa; teknologi juga dihasilkan sebagai satu produk aplikasi menerusi terjemahan ilmu sains. Maksudnya, bahasa dan sains merupakan alat dan unit asas dalam proses mencipta sastera dan teknologi. Terdapat pertalian yang akrab antara kedua-duanya dalam konteks masing-masing. Pun begitu, merit sastera atau teknologi tidak semestinya wajib disokong oleh penguasaan maha terbilang dalam bahasa atau sains. Inilah mitos kefahaman yang songsang.\nDengan mengambil kira kewujudan isu yang setara meskipun konteksnya berbeza, sepatutnya juga dibuat pemisahan yang jelas antara elemen bahasa dengan merit susastera. Tetapi persoalannya, adakah komuniti sastera bersedia untuk menawarkan pendekatan yang mesra dan terbuka seperti aktivis sains?\nTerdapat banyak teknologi unggul yang dicipta oleh komuniti tradisional di Nusantara, sungguhpun mereka tidak pernah didedahkan dengan ilmu sains. Sebagai contohnya, generasi orang-orang tua dahulu tidak pun memahami konsep sirkulasi atmosfera dan kelembapan udara. Tetapi mereka mampu meramalkan kitaran musim dan kedatangan hujan dengan hanya mencerap perubahan angin di persekitaran. Mereka juga mencipta alat bajak yang efektif, walaupun cuma dioperasikan oleh seekor kerbau. Sedangkan mereka tidak pernah hadam secara tuntas hukum-hukum fizik dan teori-teori gerakan mekanikal.\nMengambil asas kefahaman ini, maka dalam ekosistem sains teknologi negara, kedua-dua bidang mula diberi perhatian secara unik dan tersendiri. Aspek teknologi dan sains tidak lagi disalah tanggap sebagai kembar siam yang mesti sentiasa wujud bersama. Oleh sebab itu, anugerah ahli sains dan ahli teknologi negara dinilai dengan kriteria yang berbeza. Bidang sains berfokus pada pengembangan hukum dan teori, manakala teknologi diberatkan pada nilai aplikasi dan impak kepada pengguna. Turut diperkenalkan ialah konsep teknologi akar umbi yang merujuk ciptaan-ciptaan yang dihasilkan oleh orang awam yang tidak berlatarbelakangkan sains. Termasuk dalam kelompok ini ialah masyarakat desa yang meneroka daya cipta berasaskan teknologi tradisional, tanpa bergantung pada sebarang pendidikan formal dalam bidang sains.\nBagaimana pula dengan dunia sastera? Dengan mengambil kira kewujudan isu yang setara meskipun konteksnya berbeza, sepatutnya juga dibuat pemisahan yang jelas antara elemen bahasa dengan merit susastera. Tetapi persoalannya, adakah komuniti sastera bersedia untuk menawarkan pendekatan yang mesra dan terbuka seperti aktivis sains? Atau adakah status quo masih tebal menjangkiti mentaliti?\nBersabit hal ini, saya berpandangan bahawa bagi aspek bahasa, kita boleh meletak kepersisan nahu, pemilihan kosa kata dan implikasi semantik sebagai teras tanda sukat. Tetapi jika menilai sastera sebagai satu produk gunaan daripada bahasa, maka pertimbangannya wajib didasari oleh kualiti pemikiran dan gagasan idea yang mampu ditawarkan kepada pembaca.\nSayang sekali, ketaasuban terhadap aspek bahasa masih meraja dewata. Justeru, ada banyak karya yang dihasilkan oleh penulis-penulis hiliran tersingkir secara sistematik daripada proses penilaian pelbagai anugerah sastera pada skala negeri dan kebangsaan. Prejudis dan stigma terinstitusi secara terang, tetapi cuba disembunyikan dengan bermacam alasan. Kerancuan bahasa dijadikan salah satu hujah utama. Sama ada justifikasi tersebut wajar atau tidak, akhirnya ia tetap berjaya meminggirkan generasi persuratan indie menjadi kelompok marginal.\nTeknologi yang bagus dan berimpak tinggi kepada pengguna, sekalipun agak lemah dari segi asas sains, masih dianggap sebagai ciptaan produk yang berkualiti. Kerana mesej yang mahu disampaikan, sains hanyalah perantara dan medium. Ya, kemahiran tinggi dalam bidang ini boleh membantu menghasilkan teknologi yang lebih cemerlang. Tetapi bukan bermakna kita harus meminggirkan teknologi-teknologi yang telah pun diterima dan diguna pakai secara meluas oleh masyarakat, hanya kerana ia tidak disokong oleh asas sains yang sempurna.\nBolehkah pendekatan yang serupa dimasyhurkan dalam ekosistem sastera? Pandangan ini bukan menidakkan secara total faktor bahasa. Ya, saya setuju bahawa satu tahap penguasaan bahasa yang munasabah harus dipenuhi terlebih dahulu, dan bukanlah dibiarkan semberono secara melulu. Tetapi keterikatan pada nilai-nilai gramatis bahasa yang syumul haruslah diringankan. Tujahan prioriti mesti diberikan kepada impak gagasan yang dipersembahkan dalam karya sastera. Salah satu kayu ukur pada \u201cimpak gagasan\u201d ini boleh disandarkan pada tahap capaian dan reaksi pembaca. Dalam kalangan generasi milenia baharu, saya fikir karya-karya kreatif indie amat berjaya menatar budaya cinta sastera yang tulen, konsisten dan benar-benar semarak.\nMerobohkan mitos ini menuntut iltizam kebersamaan yang tinggi, dalam seluruh ahli komuniti sastera. Sikap terlalu sentimental pada warisan-warisan dogma masa lalu perlu dikikis. Kita perlu terbuka pada tanggapan-tanggapan baharu yang mampu meluaskan ranah sastera negara. Kenapa kita mesti memilih jumud dan pegun; seribu jong masuk kuala, masihkah anjing bercawat ekor?\n_________________________\nRem Dambul atau nama sebenarnya Ramzah Dambul (Dr.) ialah seorang sarjana bidang sains atmosfera; yang gemar berpuisi, melukis dan berfantasi. Dalam dunia utopia, dia seekor murai sastera yang selalu berkicau di perbatasan sains. Antara karya bukunya termasuklah kumpulan puisi Alien Menchari Chinta (ITBM, 2012; Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012/2013),\u00a0Deja Vu Cinta Pencari Katarsis (ITBM, 2014), Dari Cinta kepada Cinta (ITBM, 2015), dan memoir perjalanan Bukan Travelog Haji di Bumi Anbia (Studio Anai Anai, 2017)." "Ekspresi Perpaduan dalam Malam Puisi Ambang Merdeka\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Program Ambang Merdeka: Malam Alunan Puisi Ambang Merdeka bersempena Hari Kebangsaan ke-64 telah diadakan pada pukul 9.00 malam semalam melalui Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nProgram ini mengumpulkan 14 orang pemuisi dan penyair tanah air dari barat hingga timur Malaysia, serta penampilan istimewa dua anak kecil yang menyerikan malam ambang Merdeka tahun ini.\nProgram dimulakan dengan deklamasi puisi daripada Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan dengan \u201cKemerdekaan\u201d; Dr. Lim Swee Tin (penerima SEA Write Award), \u201cMari Terus Berharap\u201d; Datuk Jasni Matlani (penerima SEA Write Award), \u201cPrihatin\u201d; dan Datin Seri Haryani Haron (juara puisi Sayembara Puisi Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan 2013) dengan \u201cLaungan Negeri yang Abadi\u201d.\nSeterusnya, program diserikan dengan Dr. Shafa\u2019atussara Silahudin yang mendendangkan syair \u201cPerpaduan\u201d karya Roslan Madun, dan diikuti dengan deklamasi puisi oleh Dato\u2019 Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, \u201cMerdeka\u201d; Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, \u201cMenuntun Si Merdeka\u201d; Dato\u2019 Goh Hin San, \u201cAnak Jiran Tionghua\u201d; dan Dato\u2019 Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, \u201cInilah Watan Kita Bersama\u201d.\nSelepas itu, program dilanjutkan lagi dengan dendangan syair \u201cPerpaduan\u201d oleh Roslan Madun. Kemudian, deklamasi puisi diteruskan oleh Poul Naggang dengan \u201cJunjung Kasih Malaysiaku\u201d; Suwanlerd Pro Poul dengan \u201cDi Laman Merdeka\u201d; Dr. Raja Rajeswari Setha Raman dengan \u201cDirgahayu Jalur Prihatin\u201d; dan Harlym Yeo Hock Lim, \u201cKitalah Tuan\u201d. Keseluruhan program dikendalikan oleh pegawai DBP, Encik Azimin Daud.\nProgram yang berjaya menaikkan nyala rasa kemerdekaan ini ditutup dengan persembahan istimewa daripada Gan Yi dan Gan Tien yang menyanyikan lagu Tanggal 31.\nTonton Malam Alunan Puisi Ambang Merdeka 2021 di sini." "Pelantikan dan Pentauliahan Munsyi Muda Bahasa 2019\u20132022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Sebanyak 191 pegawai awam/warga JPA menerima watikah pelantikan dan pentauliahan Munsyi Muda Bahasa Perkhidmatan Awam bagi tahun 2019 hingga 2022 pada hari ini. YBhg. Dato\u2019 Ts. Kamel Mohamad, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) dalam ucapan perasmiannya menyeru agar Munsyi Muda Bahasa menjadi penggerak aktiviti kebahasaan di kementerian, jabatan dan agensi masing-masing dalam rangka menyokong pembangunan modal insan berteraskan bahasa kebangsaan.\nJelasnya, Munsyi Muda Bahasa sewajarnya menjadi daya pendorong utama dalam penganjuran aktiviti kebahasaan berskala luas agar agenda kebahasaan ini berupaya menyuntik semangat warga kementerian, agensi dan jabatan untuk bersama-sama dalam menggunakan bahasa kebangsaan secara bermutu.\nPenggunaan bahasa Melayu dalam sektor kerajaan sering kali menjadi penanda aras bagi sektor swasta, malahan pihak di luar negara yang berniat untuk mengamati atau menggunakan bahasa Melayu. Dengan bertambahnya jumlah pegawai awam yang menjadi pemangkin penggunaan bahasa kebangsaan yang betul, saya berharap agar mutu penggunaan bahasa Melayu semakin diperkasakan di kementerian, jabatan dan agensi masing-masing.\nMunsyi Muda Bahasa merupakan perujuk bahasa yang dilahirkan melalui kursus khas pensijilan perujuk bahasa sektor awam kerjasama INTAN dan DBP sejak tahun 2015." "Berjayakah Sastera Membentuk Identiti Kebangsaan?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Adakah sastera hari ini mampu lagi berperanan untuk membentuk sebuah identiti bangsa Malaysia? Antara ya dan tidak, tiga panel iaitu Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan bersama-sama dua penulis, Ahmad Muziru Idham dan Nur Adilla tampil mengemukakan pengalaman dan pandangan masing-masing dalam Forum Menganyam Nusa: Sastera, Kemerdekaan dan Identiti Kebangsaan yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Kawah Buku, malam tadi. Forum ini dikendalikan oleh Azan Safar selama dua jam lebih.\nPerbincangan itu agak menarik apabila Zurinah memulakan dengan berkongsi pengalamannya membesar sewaktu Malaysia belum merdeka. Zurinah berkata, pada zamannya, pandangan umum terhadap wanita yang ingin belajar atau terpelajar tidak begitu murni, malah budak perempuan selalu dipandang serong jika asyik membaca.\n\u201cPada pandangan zaman itu, (peranan) perempuan hanya duduk di dapur. Tiada yang peduli jika ada budak perempuan yang dapat nombor satu,\u201d katanya.\nTegas Zurinah, karya yang beliau hasilkan adalah warna zamannya, seperti Hatimu Aisyah yang merakamkan kehidupan dan budaya masyarakat zaman itu.\nPandangan Zurinah itu senada dengan Ahmad Muziru yang turut menyebut, pada zaman itu, sastera dianggap wadah terbaik untuk kebangkitan semangat kebangsaan dan juga pembangunan. Hal ini disebabkan sastera ialah satu-satunya sumber hiburan yang ada.\n\u201cKetika zaman belum merdeka, kita lihat sastera digunakan sebaik-baiknya oleh anak watan untuk meniup semangat nasionalisme menerusi karya kreatif seperti novel, sajak dan cerpen.\n\u201cKebanyakan mereka juga (yang terlibat dalam sastera) ialah wartawan kerana ketika itu mereka susuk yang penting dan mempunyai akses,\u201d katanya.\nWalau bagaimanapun, kebanyakan daripada mereka yang bertugas di pejabat sidang media Utusan Melayu dan Mastika menggunakan nama samaran kerana tidak mahu dikenali dan melindungi kepengarangan mereka daripada penjajah ketika itu.\nTegas Muziru, perjuangan penulis menerusi sastera untuk menuntut kemerdekaan bagaimanapun tidak dapat dikesan dalam kalangan penulis bukan Melayu. Hal ini katanya kerana kebanyakan penduduk bukan Melayu masih lagi berkiblatkan negara asal, selain dasar pemerintahan penjajah ketika itu masih pecah dan perintah, yang mengasingkan tiga kaum utama di Malaysia, Melayu, Cina dan India.\nKeadaan ini berlarutan hingga selepas merdeka apabila pembabitan penulis bukan Melayu yang berkarya kreatif dalam bahasa Melayu masih kurang. Justeru, pembentukan identiti kebangsaan menerusi sastera itu tidak begitu efektif.\nNamun bagi Nur Adilla, sastera masih berperanan besar dalam usaha mengisi makna merdeka jika kita berlapang dada dan berfikiran terbuka. Malah katanya, hari ini ramai pengarang muda dan penerbit swasta yang tampil dengan karya merdeka yang tidak mengikut acuan sastera sebelum ini, yang lebih banyak memfokus tentang politik.\n\u201cSastera membolehkan pengarang menyentuh begitu banyak isu, sama ada ekonomi atau pekerjaan.\n\u201cBagaimanapun, selepas lebih 60 tahun merdeka, sastera kita masih terbelah-belah dengan sastera Inggeris, Iban, Cina dan Tamil, malah selepas lebih 60 tahun, kita masih memperkatakannya.\n\u201cSebagai pentabdir sastera atau pensyarah atau penyelidik, kita perlu membaca semua jenis sastera, tidak kira bahasa apa-apa pun, dan di sinilah pentingnya penterjemahan,\u201d katanya.\nTonton forum sempena Hari Kebangsaan anjuran Kawah Buku ini di sini." "Konsert Dondang Puitika Melaka Menyemarakkan Semangat Kemerdekaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMelaka \u2013 Konsert Dondang Puitika Melaka pertama kalinya menemui penonton menerusi skrin di alam maya, bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-64, pada jam 9.00 malam 31 Ogos.\nProgram persembahan ini merupakan anjuran bersama Jabatan Kebudayan dan Kesenian Negera, Melaka (JKKN), Ikatan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Meja Poedjangga, serta Taman Mini Malaysia dan Mini ASEAN. Program persembahan bertujuan untuk menyuburkan rasa cinta pada seni warisan dan kebudayaan serta merancakkan kembali gelanggang kesenian negeri Melaka.\nKonsert menampilkan sebilangan penyair terkenal negara, iaitu Zaen Kasturi (penerima SEA Write Award yang juga anak jati Melaka), dan Dr. Lim Swee Tin (penerima SEA Write Award). Penyair undangan lain yang turut terlibat, seperti Dr. Sastri Bakry dari Indonesia, Umar Uzair, Lin Haslinaz, Haji Rani Embi, Asmidar, dan ramai lagi. Persembahan pembukaan dilaksanakan oleh kumpulan kesenian JKKN Melaka.\nDilancarkan oleh Ketua Pengarah JKKN, Yang Berusaha Tuan Haji Mesran Mohd Yusof, beliau menyerlahkan rasa besar hati kepada Meja Poedjangga dan DBP serta agensi lain yang terlibat dalam menjayakan sebuah program pengimarahan semangat seni negara, serta mengalu-alukan para penggiat seni dan penyair yang terlibat memeriahkan pentas persembahan.\nTurut memberikan ucaptama ialah Pengarah DBP Wilayah Selatan, Yang Berusaha Puan Norhafizah Mohamed Husin, yang menegaskan kepentingan memanfaatkan teknologi dalam usaha menyalurkan dan menyebarkan khazanah serta warisan budaya tempatan.\nSelepas persembahan Silat Tari daripada Faks Abdullah serta Muzika Tari Cermin Mimpi daripada Kumpulan Kesenian JKKN Melaka, segmen Sentuhan Tradisi berlangsung, menyenaraikan enam agenda persembahan. Tuan Haji Rani Embi mendendangkan Dendangan Burdah dan Alunan Berendoi, diikuti persembahan daripada Tokoh Penggerak Budaya, Norliza Md. Yamin yang mendendangkan sebuah rejang berjudul \u201cRejang Kucing\u201d, sebelum membuat persembahan \u201cNazam Arab\u201d dengan iringan gendang berirama.\nSejurus itu, sebuah persembahan dondang puitis, Dondang Sayang Patriotik daripada Hairul Asraf pula dimainkan, sebelum menyusul persembahan duet Ilham Pujangga bersama-sama Norliza Md. Yamin. Segmen diakhiri dengan persembahan oleh penyanyi dan artis Asmidar, menyanyikan Embun Menitik dan disusuli dengan persembahan nyanyian Sireh Pinang dengan irama melodi kontemporari dan visual hitam putih.\nSeterusnya, program diserikan lagi dengan Segmen Kenduri Puisi, upacara pendeklamasian puisi yang dimulakan oleh Umar Uzair dengan puisi berlagu \u201cCenderawasih\u201d dan \u201cHasrat Sang Enggang\u201d, Lin Haslinaz dengan \u201cKelopak Merdeka\u201d, Aflieza Arshad dengan \u201cMasihkah Kau Bermain Seruling\u201d, dan Ahmad Zauawi Che Cop membaca \u201cMantera Ceritera Melaka\u201d. Kemudian diikuti pula oleh Dr. Lim Swee Tin dengan \u201cMari Cipta Jalan Perdamaian\u201d, disusuli pendeklamasian puisi \u201cJangan Gendang Bertingkah Lagi\u201d oleh trio IPM, Idham, Malek dan Sufrei, seterusnya Isa Maarof dengan \u201cMengapa Harus Gendang Bertingkah\u201d, dan penyair Zaen Kasturi dengan puisinya, \u201cKe Ruang Kartasis\u201d.\nKenduri Puisi berlangsung lagi dengan pendeklamasian puisi oleh Mohd Noor (Jebat) dengan \u201cMenyulam Busana Muafakat Bangsa\u201d, lalu menampilkan pula penyair Indonesia Sastri Bakry dengan puisinya, \u201cKebenaran Tanpa Rasa Takut\u201d. Akhirnya, Umar Uzair kembali dengan puisi lagu Rindu Membius Separuh Logikaku.\nProgram konsert tiba ke penghujung dengan tayangan visual penghargaan khas kepada Taman Mini Malaysia dan Mini ASEAN yang sudah 31 tahun berdiri dengan Tuan Haji Reni Embi mendeklamasikan sebuah puisi bertajuk \u201cRumah Pusaka Bonda\u201d, sebelum ditutup oleh sebuah persembahan nyanyian patriotik Warisan dalam bahasa isyarat oleh Wan Kamlzaman, artis JKKN Melaka.\nTonton Konsert Dondang Puitika Melaka di sini." "Senandung Merdeka Himpunkan Johan Satu Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Walaupun hanya dilangsungkan secara tertutup melalui pelantar Zoom, persembahan barisan johan deklamasi puisi yang ditampilkan dalam majlis ini umpama sebuah pentas yang gah dan berprestij. Begitulah acara Malam Baca Puisi Senandung Merdeka yang dianjurkan oleh Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI) bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-64. Memilih tarikh 31 Ogos 2021, KEMUDI menampilkan 31 deklamator dari seluruh Malaysia, termasuk seorang yang berada di Tanah Besar China untuk sama-sama meraikan sambutan hari bersejarah buat rakyat Malaysia ini.\nMajlis menampilkan nama-nama besar seperti Sasterawan Negara Dato\u2019 Dr. Zurinah Hassan, Ainun Nasibah (Johan Deklamasi Sajak 64 Tahun Merdeka Tourism Perak 2021), Noorhisyam Razali (Johan Sayembara Deklamasi Puisi Selangor 2021), Perindu Seni atau PWI YOS Marzelan Md Jusoh (Johan Sayembara Deklamasi Puisi Angkatan Tentera Malaysia 2021), Che Su Deraman, Dayana Chacho, dan Lim Ah Nee.\nTurut serta dalam acara ini ialah Adrine Sapari dari Pahang; [email\u00a0protected] Zain dari Terengganu; Toh Chee Leong, Norulhuda Omar dan Oui Bin Sal dari Kelantan; Hanna Aleesya dan anak muridnya, Liu Xiyue dari Tanah Besar China; Noor Halizawati dari Kedah; Hilmi [email\u00a0protected] Smile, Nur Fatihah LB Abdullah, dan Nurirfiney E Hairoland Fredo dari Sabah.\nTidak ketinggalan, acara ini turut disertai oleh Romaini Mustafa, Khadijah Ishak, Hafizan Jamal, Norasmah Mohd Basri, Muhammad Amir Akil, Azamin Itam, Ahmad Harun, Muhammad Saufi, Aya Rohaiyah, Prof [email\u00a0protected] Wahid Abdul Halim, Rozita Mohamed Baki, Dr. Zainatul Shuhaida Abdull Rahman (pensyarah UiTM Puncak Alam), para ahli Toastmaster, Siti Nur [email\u00a0protected] Merah, dan jawatankuasa KEMUDI, iaitu Abdul Hamid [email\u00a0protected] Jebat, Jazlan Abdul Jalil (Bendahari KEMUDI), Nurul Syahida Hassan (Setiausaha KEMUDI), dan Haidzir Sham Masngat. Turut menyumbangkan video persembahan ialah peserta cilik, Jevien a/l Jayakumar dan Noor Iman Nor Azad. Persembahan penutup merupakan dendangan syair oleh Haidzir Sham berjudul \u201cHidup Berbakti\u201d nukilan beliau sendiri.\nMajlis ini merupakan program di bawah Biro Pembangunan Penulis Muda yang diketuai oleh Hj. Ismail Supandi. Acara bermula pada jam 9.00 malam dan berakhir pada jam 1.00 pagi. Dua orang pengacara, Harlym Yeo dan Zie Ismail telah menghidupkan Malam Baca Puisi dengan jayanya dan mewujudkan suasana yang santai. Program ini dibahagikan kepada lima segmen, dan dalam setiap segmen, persembahannya dibuat secara langsung oleh deklamator yang terlibat atau dirakam dahulu lalu diberikan awal kepada penganjur. Sebanyak 21 buah video rakaman diterima dan diputarkan.\nMajlis ini bertujuan untuk menyemarakkan jiwa merdeka dan meraikan kemerdekaan negara selama 64 tahun. Keharmonian bangsa dapat dilihat apabila program ini disertai oleh tiga etnik terbesar Malaysia, iaitu Melayu, Cina dan India. Para penggiat sastera yang terlibat menyatakan hasrat mereka untuk meneruskan acara sebegini bagi melahirkan rasa cinta akan negara, terutamanya buat generasi muda." "Sastera, Kemerdekaan dan Identiti Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTulisan ini berdasarkan perkongsian Nur Adilla dalam Forum Menganyam Nusa: Sastera, Kemerdekaan dan Identiti Kebangsaan anjuran Kawah Buku dan Institut Nyala pada 30 Ogos 2021.\nDalam karya sastera terkini yang wujud dalam format yang lebih bendalir rentetan kemajuan media sosial, kita semakin menemui sastera yang digunakan sebagai ruang bebas untuk menyinggung pelbagai isu masyarakat moden .\nUmum mengetahui tentang peranan dan karakter sastera dalam memugarkan gelora perjuangan merintis kemerdekaan. Pada tahun-tahun menjelang kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, banyak penggiat sastera yang terlibat dalam membangkitkan semangat nasionalisme, anti-British, dan melacak persoalan kebudayaan bangsa. Namun, perbincangan tentang sastera dan kemerdekaan kerap terhenti setakat itu sahaja. Kini, setelah lebih daripada separuh abad Malaysia mencapai kemerdekaan, kita harus persoalkan pula peranan sastera dalam mengisi kemerdekaan negara kita. Dalam sejarah negara ini, sastera kita boleh dikira dinamik dalam memainkan peran yang mempengaruhi atau terpengaruh dengan pelbagai dimensi kemerdekaan, yang merangkumi sosial, politik, emosi dan undang-undang negara.\nKemerdekaan Paradigma\nSesungguhnya sejarah kesusasteraan moden kita adalah sejarah kesedaran secara keseluruhan tentang diri, tentang tradisi, tentang masyarakat dan tentang ikatan murni; baik dari segi keagamaan mahupun dari perspektif peradaban .\nShahnon Ahmad (1994), Dari Sini Hendak ke Mana?\nSetelah kemerdekaan dicapai pada tahun 1957, permasalahan-permasalahan lain mula timbul. Mentadbir sebuah negara yang muda lela bukan kerja mudah. Masyarakat semakin tergumul dengan pelbagai kerenyahan organik atau tatanan politik partisan yang menguntungkan hanya beberapa orang. Interaksi sosial yang acap kali terikat dengan trauma penjajahan memaksa supaya wacana kemerdekaan dan anti-kolonial menjadi semakin mencapah dan menyeluruh.\nSebagai reaksi pada pergelutan masyarakat ini, karya sastera terus digunakan sebagai senjata untuk mempertajam kefahaman masyarakat tentang peri pentingnya pembebasan. Sastera memberi ruang untuk mengungkapkan pengalaman sosial masyarakat secara kreatif, dan lazimnya, realis. Hal ini dapat dilihat melalui ASAS 50, satu gerakan anak muda intelegensia yang begitu tekal berwacana dan menggunakan ketajaman pena untuk memperkasa keyakinan masyarakat ke arah pembebasan daripada kolonialisme.\nSedari sebelum kemerdekaan, penulis dan pemikir yang lahir (atau melahirkan) ASAS 50 terus menulis dan memberikan reaksi terhadap persoalan-persoalan masyarakat, namun tidak terlepas daripada mengkoreksi beberapa sektor sosial yang memerlukan penambahbaikan praksis. Misalnya, pembebasan emansipasi wanita yang dicanang dan dituntut dalam karya sastera beberapa penulis ASAS 50 tidak cukup untuk memperbetul ketidakadilan dan kekangan ruang bagi penulis wanita ketika itu untuk terus berkarya. Salmi Manja adalah antara nama yang selalu disebut-sebut sebagai penulis wanita yang terhimpit oleh kebobrokan budaya patriarki yang tidak sempat dikoreksi dalam ranah kesusasteraan tersebut.\nApabila negara semakin membangun mengikut neraca kapitalisme global, karya-karya sastera, terutamanya mulai dekad 1980-an, mula memugar persoalan hubungan ekonomi dan pembangunan masyarakat. Selain itu, masyarakat Melayu-Islam ketika itu mula melahirkan keresahan terhadap identiti diri dan bangsa yang dirasakan terkesan dengan pengaruh negara Barat, seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom yang juga merupakan adikuasa dunia. Sastera yang membawa isu pertentangan antara budaya Timur/Islam dengan Barat semakin membugar ketika itu, sehingga melahirkan konsep sastera Islam dalam bahasa Melayu.\nKetika mencapai kemerdekaan, negara kita memiliki aspirasi yang mahu dipenuhi\u2014sebuah masyarakat yang merdeka untuk menentukan hala tujunya sendiri. Namun, tidak mungkin pembebasan masyarakat mampu dicapai jika penindasan-penindasan dalam bentuk baharu, yang muncul selepas merdeka oleh orang kita sendiri tidak dikritik lewat karya sastera. Oleh sebab itu, kesedaran masyarakat terhadap penindasan-penindasan bentuk baharu ini perlu diberikan bahasa untuk memahaminya, supaya dapat dikenali dan dirasakan.\nDalam hal ini, kita jarang-jarang memperkatakan perihal kemerdekaan paradigma dalam kalangan peran-peran penting selain penulis sastera. Antaranya, editor, penterjemah, ahli akademi sastera, pelajar sastera, penerbit, serta pegawai agensi dan kementerian berkaitan sastera seperti di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia, dan Kementerian Pelancongan Malaysia. Kesemua peran selain penulis ini juga berperanan dalam memastikan kejayaan sastera untuk sampai, dinikmati atau dimanfaati oleh pembaca kebanyakan. Apa yang bermasalah ialah jika peran ini (i) bukan daripada golongan pembaca dan pemikir tegar; (ii) suka menjajah paradigma penulis dan pembaca; serta (iii) tidak menggunakan kuasa dan sumber yang dipunyai (acap kali didanai oleh wang awam) untuk memenuhi tuntutan pemerkasaan ekosistem yang sihat untuk sastera. Kemerdekaan paradigma peran-peran ini perlu lebih dibahaskan dalam ruang-ruang yang lain.\nDalam karya sastera terkini yang wujud dalam format yang lebih bendalir rentetan kemajuan media sosial, kita semakin menemui sastera yang digunakan sebagai ruang bebas untuk menyinggung pelbagai isu masyarakat moden, seperti kesenjangan ekonomi dan perancangan bandar, ketidakadilan gender, pertentangan modenisasi dengan jati diri, serta mempersoal moraliti budaya Melayu atau Islam yang dicitakan dengan apa yang diamalkan. Dari sudut pandangan makro, sastera acap kali melaksanakan fungsinya untuk merakam dan membahasakan permasalahan masyarakat semasa, bahkan boleh juga dilihat sebagai manifestasi pengisian kemerdekaan paradigma sendiri. Namun begitu, adakah sastera Malaysia sebenarnya adil dalam perjuangan menuju kemerdekaan paradigma yang bebas dalam menyediakan ranah yang selesa bagi para pengkarya dan penikmat sastera?\nSastera: Dipengaruhi atau Mempengaruhi?\nDalam situasi tertentu, pengarang seolah-olah cuba mengelakkan diri daripada memperkatakan isu-isu yang dianggap sebagai tidak sopan, tabu atau bersifat politik subversif. Hal ini dapat dikaitkan dengan situasi sosiobudaya yang melingkungi masyarakat Malaysia.\nNorhayati Ab. Rahman (2012), Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia\nKendati sastera betah untuk digunakan sebagai manifestasi kebebasan dan kemerdekaan paradigma, adakah sastera Malaysia benar-benar bebas dan merdeka? Persoalan ini mengingatkan kita pada keterpaksaan para penulis sewaktu zaman penjajah yang perlu menulis dengan pelbagai nama pena untuk melindungi diri daripada dikenal pasti oleh penjajah. Idea yang ditintakan oleh pemikir dan penulis sastera ketika itu dianggap radikal kerana menyemai citra pembebasan fizikal yang dianggap sebagai hasutan oleh para penjajah. Dalam konteks ini, kita jelas dapat melihat bagaimana wahana sastera mempengaruhi pemikiran zaman tetapi pada masa yang sama, cara sastera itu digerakkan pula dipengaruhi oleh undang-undang pentadbiran.\nKini, para penulis sastera tidak perlu berselindung di sebalik nama pena. Dalam dunia yang dipacu medium maya, konsep perlindungan identiti diri hampir hanya wujud sebagai teori semata-mata. Walau bagaimanapun, elemen-elemen yang dilihat mempengaruhi sastera seperti undang-undang rasmi berkaitan kebebasan berekspresi dan undang-undang tidak rasmi seperti budaya dan agama masih menggunakan acuan yang kemungkinan kurang selaras dek perubahan zaman yang pesat. Namun, evolusi persoalan tentang mengapa masih ada penulis pada mana-mana zaman yang memilih untuk menggunakan nama pena perlu juga diteliti. Barangkali penulis mahu membawa isu-isu yang dianggap sensitif, tabu dan sebagainya, tetapi terpaksa berdepan dengan banyak tekanan dari luar jika menggunakan nama sebenar. Perlindungan identiti dan nama pena ini juga boleh bersifat komersial. Contohnya, penulis cerita romantis lelaki biasanya akan menggunakan nama pena perempuan. Dalam kebanyakan kes perlindungan nama pena di Barat seperti J.K. Rowling, beliau memakai nama pena lelaki kerana diskriminasi dan sterotaip yang memberikan impak negatif kepada penulis perempuan sepertinya.\nDi Malaysia kini, penulis hanya boleh beriltizam untuk menerbitkan karya di platform perdana dengan idea-idea \u201cradikal\u201d, semacam yang dilakukan pada zaman sebelum kemerdekaan dahulu. Kita maklumi, jika ada karya yang dianggap tidak berbudaya, terlalu sensitif atau tabu, akan awal-awal dicantas di pintu pagar penerbitan. Kayu ukur yang dipakai untuk menapis juga lazimnya subjektif dan tertakluk sepenuhnya pada kearifan penjaga pintu atau editor penerbitan sastera tersebut. Apabila hal ini terjadi berulang-ulang selama beberapa dekad lamanya, wujudlah pula bentuk penjajahan baharu dalam dunia sastera. Penulis yang sepatutnya berani, kreatif dan bebas untuk mengekspresikan seni akan mencantas sendiri karyanya yang kononnya berbaur \u201cisu tabu dan sensitif\u201d. Semakin terbiasa, para pengkarya mencari jalan lebih mudah dan wewenang untuk terus berekspresi, sekali gus kebungkaman dunia sastera menjadi natijah yang tidak dapat dielakkan lagi.\nSebagai contoh, karya subversif seperti SHIT dan Muntah oleh Shahnon Ahmad berjaya menembusi pasaran komersial, antara lain kerana status Shahnon sendiri yang sudah bergelar Sasterawan Negara serta pergolakan politikal masyarakat ketika itu. Oleh sebab keadaan pada hari ini yang lebih sukar untuk mengakomodasi karya-karya sebegini, maka para penulis mula menerbitkan karya secara mandiri (indie). Fenomena ini jugalah yang dapat dideduksikan sebagai cara peran komuniti sastera mengguna pakai ruang kebebasan dalam negara ini untuk terus berkreativiti. Kelahiran sebegitu banyak syarikat mandiri yang menerbitkan karya sastera dengan bonus kejayaan komersial ini juga merupakan respon pada kemahuan untuk membebaskan diri daripada kekakuan dan kebekuan bentuk dan tema sastera yang dituntut oleh pentadbir sastera negara.\nMalangnya, perbicaraan mahkamah kedai kopi mengenai fenomena ini merumuskan, ada tuntutan mendesak kepada pentadbir sastera dan pemegang sumber sastera yang didanai wang awam ini untuk lekas berubah. Lantaran kegergasian institusi dan sumber dana yang selalu ada, pentadbir sastera negara mungkin terlalu selesa menangani isu sastera seadanya dan tidak termotivasi untuk melakukan sebarang rombakan pentadbiran. Penerbit karya sastera selepas merdeka yang pada mulanya merupakan agen pembebasan yang kreatif, kini turut terperangkap dan mengalami kerenjungan (ossified) susulan keselesaan ini. Mujur, suara-suara kritis yang dikira \u201ctabu dan sensitif\u201d itu tadi tidak berhenti, bahkan mencari cara baharu untuk menyebarluaskan idea dan ekspresi mereka.\nKetimbang kerenjungan institusi ini, adalah wajar juga untuk kita cuba mewacanakan persoalan ini, yakni tentang kemerdekaan keyakinan diri para pengkarya sastera. Sejauh manakah sastera ditadbir oleh undang-undang formal yang direka sebelum merdeka itu? Adakah keresahan dan kekhuatiran yang dirasai oleh pentadbir sastera terhadap letak duduk elemen \u201ctabu dan sensitif\u201d ini hanyalah ketakutan ilusi yang dibebankan sendiri (self-imposed)? Jika benar, para pentadbir sastera juga perlu menuntut kemerdekaan paradigma sesegeranya.\nMisalnya sebelum ini, karya yang memaparkan watak wanita yang terang-terangan \u201cfeminis\u201d selalu dipersetan sebagai tidak Islamis atau tidak cocok dengan Melayu lantas harus dicantas sebelum diterbitkan. Hal ini bagaimanapun semakin berubah kerana wacana tentang konsep sains sosial dalam pemerkasaan wanita ini terus diwacanakan dalam komuniti masyarakat sivil Malaysia. Ditambah pula dengan pemilihan Datuk Dr. Zurinah Hassan dan Datuk Dr. Siti Zainon Ismail sebagai Sasterawan Negara, kedua-dua tokoh sastera penting ini acap kali menyuguh kepentingan pemugaran isu pemerkasaan wanita dalam sastera, sepertimana kita menanggapi isu kemiskinan, pembangunan, ekonomi, ketidakadilan, dan pelbagai isu sosial lain.\n\nBerlainan pula apabila kita melihat keragaman isu yang dibawa dalam sastera bukan bahasa Melayu di Malaysia yang jauh lebih dinamik dan segar untuk dinikmati. Apakah kerencaman pola isu dalam sastera tersebut disebabkan oleh bahasa-bahasa lain seperti bahasa Inggeris tidak terbeban dengan pengawasan rapi sekalian mekanikal negara? Ketidakfasihan pentadbir institusi negara dalam sesuatu bahasa, dalam konteks ini, telah memerdekakan penikmat bahasa tersebut untuk mempengaruhi dan dipengaruhi oleh seni sastera dengan sesungguh-sungguhnya dan semahu-mahunya.\nIdentiti Kebangsaan\nSeperti cinta, terjemahan ada pancarobanya/Like love, translation is a complex challenge .\nLalita Sinha (2020), Other Voices, Other Choices: The challenge of Translating Malay Literature\nPembentukan identiti kebangsaan boleh difahami melalui sorotan karya sastera sedia ada. Sebagai negara yang dimakmurkan oleh pelbagai kaum dan agama, sastera yang ditulis di Malaysia mewah juga bahasanya dengan hasil karya rakyat Malaysia dalam bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil, Iban, Kayan, Kelabit, Bidayuh, dan pelbagai lagi. Karya sastera bukan dalam bahasa Melayu (lazimnya asli ditulis atau telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris) pula bukan calang-calang dan telah banyak yang sudah menerima pengiktirafan antarabangsa dan diwacanakan oleh orang luar.\nNama-nama seperti Kulleh Grasi, Tash Aw, Tan Twan Eng, Saras Manikam, Hannah Alkaff, Shih-Li Kow, Joshua Kam, dan Ho Sok Fong adalah antara penulis sastera Malaysia yang telah menempa nama di luar negara. Penulisan mereka berkitar pelbagai isu yang rencam konteks berlatarkan Malaysia. Ada juga yang terang-terangan berjujur dengan masalah sosial massa dan menyinggung pelbagai isu yang mungkin dianggap \u201ctabu dan sensitif\u201d tadi. Andai kita menyarung jubah hipotesis ketakutan status quo dalam kalangan pentadbir sastera negara, terdapat kebarangkalian karya-karya tersebut tidak berpeluang atau sukar untuk diterbitkan jika ditulis dalam bahasa Melayu.\nWalaupun penulis sastera bukan dalam bahasa Melayu ini merupakan rakyat atau keturunan Malaysia, dilihat adanya keraguan sistemik untuk merangkumkan sastera Malaysia yang ditulis dalam bahasa selain bahasa Melayu sebagai khazanah sastera negara. Kita lazim mendengar keresahan terhadap penggunaan bahasa Inggeris dan Mandarin misalnya, yang dilihat semakin mendominasi langgam komunikasi generasi yang lebih muda. Isu penggunaan bahasa Inggeris sebenarnya fenomena biasa bagi negara-negara Komanwel pascakolonial. Selain itu, penggunaan sesuatu bahasa seperti bahasa Inggeris dan Mandarin yang makin meluas ini juga disebabkan oleh kuasa ekonomi, politik dan media yang dimiliki oleh Amerika Syarikat dan China, yang juga negara adikuasa di pentas hubungan antarabangsa. Pun begitu, hal ini bukanlah bermaksud kita dengan wewenangnya tidak perlu kritikal terhadap kepolitikan bahasa di negara kita. Tetapi yang lebih penting ialah kesedaran untuk jujur dan ikhlas dalam mengembleng usaha bersama membangunkan identiti kebangsaan melalui sastera.\nMemandangkan sastera juga wadah membina imaginasi dan kefahaman rentas masyarakat, adalah penting untuk kerja-kerja terjemahan dan pengiktirafan karya bukan bahasa Melayu sebagai khazanah sastera negara ini disegerakan oleh para pentadbir sastera negara. Kerja terjemahan atau memperkasa sastera penulisan dalam kalangan bukan Melayu dahulunya agak rancak. Dahulu, kita ada Hadiah Cerpen Maybank-DBP melalui siri Mercu yang mempertandingkan tulisan bukan Melayu yang menulis dalam bahasa Melayu. Hadiahnya lumayan dan berprestij bagi menggalakkan penyertaan dan penghasilan karya berkualiti. Baru-baru ini juga mujur, DBP dilihat cuba menghidupkan kembali usaha sebegini. Dari sudut pandang penggubalan dasar, usaha semacam pertandingan atau program eksklusif kepada bukan Melayu inilah sejenis dasar diskriminasi positif yang bertujuan untuk menambah minat dan kemahiran berbahasa Melayu dalam kalangan masyarakat minoriti.\nDalam konteks sastera beridentiti kebangsaan ini, terdapat beberapa isu lain yang perlu difikirkan dengan lebih lanjut. Pertama, komuniti sastera perlu sedar mengenai hubungan tidak seimbang antara satu kelompok masyarakat, lazimnya kelompok terbanyak yang mendominasi satu lagi kelompok masyarakat yang lain. Sebahagian daripada dominasi ini kemudiannya mempengaruhi cara kita melihat dan membentuk identiti kebangsaan negara. Tanpa kesedaran yang jujur oleh kelompok yang mendominasi itu, yang tidak terhad kepada bangsa, agama atau bahasa, sudah pastilah ketidakseimbangan ini boleh merosakkan pembinaan identiti kebangsaan yang adil dan tidak sihat. Sehubungan itu, cara kita menanggapi hal sastera kebangsaan perlu lebih dinamik dan mudah lentur jika kita ikhlas untuk membangun sebagai sebuah negara merdeka.\nMenuju ke Hadapan\nBagi mencapai aspirasi kemerdekaan sastera yang dicitakan, berikut merupakan beberapa usaha yang boleh difikirkan bersama:\nMalaysia mempunyai banyak potensi untuk dipengaruhi atau mempengaruhi sastera bagi tujuan kemerdekaan dan aspirasi kebangsaan. Sudah ada kesedaran sedari kemerdekaan berkaitan kepentingan sastera dan bahasa untuk pembangunan negara. Kesedaran inilah diterjemah antara lain, melalui bahasa rasmi dalam Perlembagaan Malaysia, peruntukan dana awam yang relatif signifikan kepada institusi dan agensi bahasa dan budaya seperti DBP dan Kementerian Kebudayaan Warisan dan Kesenian, serta pendedahan konstruktif untuk melahirkan sasterawan berkualiti melalui latihan, penganugerahan dan promosi karya. Secara organik pula, kesedaran sastera ini sudah begitu berakar dan semakin berkembang dalam kalangan penikmat dan peran sastera pelbagai bahasa.\nWalaupun kita mungkin merasakan kurangnya fokus pentadbiran negara kepada agenda sastera, adalah penting juga untuk memastikan sumber manusia dalam ekosistem pentadbiran sastera negara ini berkualiti dan merdeka akalnya. Ruang sudah ada, meski sebagaimana sempit sekalipun, harus digunakan secara berintegriti dan bukan mengikut nafsu atau kesempitan akal sendiri. Kita tidak boleh lupa bahawa sastera pernah menjadi wahana penting memacu kemerdekaan fizikal negara. Selayaknya, sastera harus terus berkesinambungan, berkembang dan mampan sifatnya, saling mempengaruhi dan dipengaruhi oleh rakyat Malaysia yang merdeka sarwanya.\n_________________________\nNur Adilla Abd Rahim atau kini lebih mahu dikenali sebagai Nur Adilla pernah mewakili Malaysia untuk Bengkel MASTERA (Cerpen) pada tahun 2018, dan kini berkhidmat sebagai diplomat di Kementerian Luar Negeri." "Tiga Pendidik Ungguli Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Negeri Perlis 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-35 Peringkat Negeri Perlis telah dimenangi oleh Nor Fa\u2019alina Abu Hassan, pensyarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh, yang mendeklamasikan puisi bertajuk \u201cCitra Jiwa Merdeka\u201d karya Abdul Karim Ghulam. Selain itu, Nor Fa\u2019alina menerima wang tunai RM1000 sekali gus mewakili Perlis untuk ke Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-35 Peringkat Kebangsaan 2021. Kehebatan deklamasi puisi beliau terserlah apabila Nor Fa\u2019alina menampilkan gaya srikandi yang tangkas dengan busana pahlawan serba hitam.\nNaib Johan pula disandang oleh Noryusri Mansor, guru Pendidikan Islam di SMK Syed Hassan yang mendeklamasikan puisi \u201cLandskap Bangsa\u201d karya Mohamad Saleeh Rahamad. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Nor Nubailah Nasri, guru SMK Abi yang mendeklamasikan puisi bertajuk \u201cNaratif Ogos Seorang Helang\u201d karya Zainal Rashid Ahmad. Hadiah sagu hati dimenangi oleh dua peserta, Mohammad Firdaus Roslee dan Afifah Abdullah.\nSayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-35 Peringkat Negeri Perlis telah berlangsung secara dalam talian menerusi Facebook rasmi Persatuan Penulis Perlis (3P) pada 15 Ogos 2021. Penganjuran sayembara deklamasi bagi peringkat akhir ini telah disertai oleh 11 orang peserta. Penganjurannya telah dijayakan oleh 3P dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis (PPANPS), Majlis Kebudayaan Negeri Perlis (MKNP), dan Jabatan Pelajaran Negeri Perlis (JPNP).\nPersatuan Penulis Perlis merupakan penggerak utama acara tahunan yang ditunggu-tunggu oleh pendeklamasi yang diadakan bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan pada setiap tahun. Sayembara kali ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Puan Asmaiza Ahmad, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis.\nPusingan awal sayembara bermula dari 15 Julai hingga 1 Ogos 2021, menyaksikan seramai 20 orang peserta terpilih untuk mendeklamasikan puisi menerusi rakaman video. Seterusnya, 20 rakaman video tersebut dinilai oleh barisan juri untuk melayakkan mereka ke peringkat akhir sayembara. Lebih membanggakan, acara kali ini turut disertai oleh pendeklamasi puisi kaum Cina dari Perlis, seperti Kam Yit Lan yang berjaya terpilih ke peringkat akhir dan Li Yin Yeap yang berjaya terpilih ke peringkat saringan.\nSemoga penganjuran Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-35 Peringkat Negeri Perlis terus melahirkan ramai pendeklamasi puisi, selain terus memartabatkan dunia puisi Melayu moden di Perlis.\nTonton persembahan penuh acara sayembara di sini." "Bukit Jingka Sakti: Rahsia Sebalik Lapis Makna Suara Hati Wanita\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail ialah seniman, karyawan dan budayawan yang sering menyimpan rahsia di balik lapis-lapis makna bicara penanya. Beliau yang lahir di Gombak, Kuala Lumpur menyaksikan satu persatu pembangunan Kuala Lumpur yang berlaku begitu pesat di antara bukit Ulu Klang dan Batu Cave, sehingga sejarah seni budaya setempat kini hanya tinggal kenangan.\nSuara hati dan kesayuan itu sering diluahkan dalam karya-karyanya. Nukilannya umpama ketakutan masa lalu yang dilukis dan ditumpahkan di atas kanvas penulisan yang mengandungi sejuta cerita dan pelbagai rasa. Siti Zainon juga antara penulis wanita yang kuat memperjuangkan citra wanita dalam karyanya. Justeru, membaca karya-karyanya umpama membaca masa silam, perjalanan kecendekiawan pemikirannya, penerokaan dan penjelajahannya di serata tempat dan dunia.\nSebagai ahli akademik, penyelidikan yang pernah dilakukan oleh beliau juga sering menjadi pengikat idea yang kuat untuk terus melahirkan karya-karya yang tinggi falsafah dan pemikiran. Kini, sekali lagi atas sumbangan beliau dalam bidang sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan sebuah buku kumpulan cerpen terbaharunya, Bukit Jingga Sakti.\nBuku ini ialah hasil cantuman terpilih 30 buah cerpen yang terkandung dalam kumpulan cerpen Seri Padma (DBP, 1984), Bunga Putik Putih (DBP, 1991) dan Jurai Palma (DBP, 2001). Siti Zainon berkongsi pengalaman dan proses penghasilan cerpen-cerpenya ini dalam Program Bicara Karya Siri 2 bersempena dengan program Dekad Membaca Kebangsaan yang dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor pada 27 Ogos yang lalu.\n\u201cApabila keluar membuat penyelidikan, kita diransang oleh alam. Saat melihat sesuatu keadaan, otak saya sering \u2018terpecal-pecal\u2019. Idea yang datang bersaing antara melukis dengan menulis.\n\u201cGabungan visual dan tekstual sangat penting, oleh kerana itu ada karya-karya saya disertakan dengan lukisan, kerana idea yang paling cepat untuk saya gambarkan tentang sesuatu yang dilihat, adalah melukis,\u201d ujar Siti Zainon.\nMenurut beliau lagi, Bukit Jingga Sakti ialah himpunan karya bertema alam sekitar. \u201cAnehnya, apabila mereka datang lagi ke kawasan perbukitan, bukit batu dipugar, naik papan tanda projek perumahan, projek besar LRT dan kondominium mewah, malah nama profesor mereka ikut dicatat di papan iklan pembangunan sebagai salah seorang pakar perunding,\u201d ujarnya lagi.\nSelain itu, Siti Zainon turut mengongsikan pengalaman penyelidikannya melalui naskhah manuskrip lalu diangkat menjadi karya bernuansa perjuangan wanita yang kuat jiwa dan mandiri, tetapi tetap penuh kelembutan, halus pekerti dan bijak. Misalnya, kisah Laksamana Laut Kesultanan Acheh Malahayati, perjuangan Ibu Kartika Affandi (1934) dalam cerpennya \u201cAtika, Sahabat Kami\u201d, \u201cRimbun Jenjarum\u201d kisah gaya hidup pelukis wanita bebas, \u201cDaun Maple Akhir\u201d dengan latar Australia, dan \u201cMeena Pelangi\u201d, juga berlatar antarabangsa (London) tentang adunan kisah realiti dan imaginasi pengumpul batik dan penari Jawa.\nTernyata, Siti Zainon tidak dapat meninggalkan ciri-ciri budayawannya kerana kesempatan setiap pengalamannya pasti diselitkan dalam karyanya. Kata Siti Zainon juga, karya-karyanya yang terlahir itu sering muncul di celah-celah keletihan.\nNisah Haron selaku moderator program turut membacakan cerpen Siti Zainon dari halaman tertentu, dalam sela beberapa minit sebagai promosi kepada pembaca, terutama khalayak yang belum sempat menikmati buah tangan Siti Zainon Ismail itu.\nBeli kumpulan cerpen ini di sini. Tonton bual bicara buku ini di sini." "Gurinsya Amalan dan Kebajikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nI\nBukankah al-Quran isinya segala?\nAllah tegaskan setiap kebenaran\nKisah kejadian hingga ke balasan\nDiterangkan sifat-sifat orang beriman\nSembahlah Allah bukan disekutukan.\nBukankah aqidah itu keutamaan?\nTauhidkan Yang Esa zat tumpuan\nKepada-Nya makhluk mohon bantuan\nDia tidak beranak tidak diperanakkan\nTiada sekufu tiada setara sepadan.\nBukankah al-Quran tiada kekurangan?\nPerkara keimanan amalan kehidupan\nBetapa agungnya setiap firman\nUntuk manusia terokai pedoman\nPetunjuk taqwa hidayah Tuhan.\nBukankah jelas perintah seruan?\nKufurnya al-kafirun tidak mengalah\nJangan sembah yang mereka sembah\nMereka itu penyembah yang diolah\nSyirik beribadah bertipu helah.\nBukankah qalamullah kalimah nuzul?\nDiturunkan melalui Rasul pilihan-Nya\nLanjutkan kitab-kitab dahulu kala\nZabur Taurat Injil tujuannya sama\nAqidah tauhid kepada Yang Esa.\nBukankah Yahudi-Nasara agama samawi?\nTurun di zamannya bagi kesejahteraan\nManusia tetap lakukan kezaliman\nNyata derhaka dalam keingkaran\nRasul-rasul ditentang terang-terangan.\nBukankah agama Allah hanya Islam?\nTidak berselisih agama Yahudi-Nasara\nAda kitab-kitab yang mereka terima\nLalu tahu yang sah kebenarannya\nDitolak oleh hasad dengki di dada.\nBukankah kekufuran mudah berleluasa?\nManusia terjebak nafikan keterangan\nAmat suka berhujah bantah seruan\nNabi sampaikan oleh kerana kewajipan\nBagi Allahlah segeranya perhitungan.\nBukankah telah datang seruan Allah?\nWahai orang-orang yang beriman\nTaatlah kamu kepada Tuhan\nTaatkan para Rasul sebagai utusan\nTaatkan Ulil-Amri pemerintah zaman.\nBukankah Allah berikan peringatan?\nTentang amal ibadah dan kebajikan\nJika berbantahan banyak perselisihan\nKembalilah kalian kepada al-Quran\nAmbil pedoman Sunnah Junjungan.\nII\nApakah di dunia manusia beriman?\nBeramal beribadah kerana Tuhan\nSesama manusia berbuat kebajikan\nInsafi akhirat itu hari perhitungan\nBuat terbaik, baiklah kesudahan.\nApakah diingati asal usul kejadian?\nMula dari Adam sampai masakini\nAsal manusia puncanya terbukti\nAdam-Hawa pasangan suami isteri\nJangan dihilangkan iman di hati.\nApakah difahami manusia membiak?\nDari Adam-Hawa datangnya keturunan\nZuriat berkembang, lelaki perempuan\nAlaf ini berbilion sudah jadi sebutan\nPeliharalah silaturrahim kerana Tuhan.\nApakah hakikat kebajikan dan kebaktian?\nBolehkah dicapai sepenuh sempurna\nJika kedekut, diri bakhil, sayangi harta\nAda yang lebih tidak mahu berderma\nAllah ketahui tiap sesuatu di sukma.\nApakah Pemurah Allah disangka?\nSifat kupit peluk harta benda\nBerlambak banyak peroleh kurnia\nFikirkan bakhilnya lekat sentiasa\nDilihat di akhirat buruk baiknya.\nApakah makna kerjakan amal baik?\nSuruhan-Nya hendaklah lakukan segera\nPeroleh keampunan dalam redha\nDemikian firman cara ke syurga\nSeluas langit bumi tidak terhingga.\nApakah infaq itu sebahagian taqwa?\nYa, bertaqwa memang tersedia cara\nBuat yang disuruh jauhi larangan-Nya\nPada mereka yang suka berderma\nSenang susah bukan diambil masa.\nApakah lagi tanda taqwanya Muslim?\nYa, bertaqwa itu memang bawa citra\nSalah satunya orang menahan marahnya\nSalah silap orang mudah dimaafkannya\nSiapa buat baik, Allah akan kasihinya.\nApakah lagi perilaku orang bertaqwa?\nSemasa dilakukan perbuatan keji\nTerjun gaung aniayai diri sendiri\nSaat sedar segera mengingati Ilahi\nBermunajat mohon dosa diampuni.\nApakah harus pendaman hati?\nIngatlah Allah apa yang diperhati\nApa yang ada di langit dan bumi\nAllah rahmati sesiapa dikehendaki\nDia menyeksa Dialah mengasihani.\nApakah amal ibadah wajib dipatuhi?\nAntaranya sempurnakan Rukun Islam\nSelain shahadatain dirikan sembahyang\nBerpuasa Ramadan, zakat dihulurkan\nBila mampu, haji-umrah dikerjakan.\nApakah tanda keyakinan yang teguh?\nPegang Rukun Iman, tersurat tersirat\nPercayakan Allah, Rasul, Kitab, Malaikat\nPercayakan qada dan qadar, hari Akhirat\nIngati hidup tiba waktu riwayat tamat.\nApakah erti makan atau ambil riba?\nDalam jamu nafsu urusan mahu laba\nDiamal yang diharamkan kaedahnya\nKejar faedah untung berlipat ganda\nAmalan jahiliyah sejahat-jahat riba.\nApakah itu kuasa mengada meniada?\nTentulah Allah Yang Maha Kuasa\nDi fikiranmu siapakah lebih berkuasa\nJika lenyap pendengaran dari telinga\nLenyap penglihatan mata menjadi buta.\nIII \nDimanakah baiknya selalu solat?\nHari-hari ke bulan berjejak tahun\nMenginsafi dosa-dosa bertimbun\nLima waktu tidak ralat terhimpun\nPatuhi suruhan berjiwa tamadun.\nDi manakah baiknya selalu puasa?\nWajib sunat bulan hari diambil kira\nIsnin Khamis hari putih terlaksana\nTekun tidak mipat ke usia tua\nNiat\u00a0 bertaqwa memenuhi dada.\nDi manakah baiknya berzakat?\nZakat \u2013 sedekah amalan bestari\nRingan tangan hulurkan setiap hari\nHatta orang datang seawal pagi\nSenyuman manis tangan memberi.\nDi manakah baiknya Haji dan Umrah?\nTertunailah Rukun tegakkan agama\nApabila diri mampu sudah berupaya\nKunjungilah Mekah terbilangnya kota\nZiarahlah Madinah ambil barokahnya.\nIV\nBaikkah orang suka beri nasihat?\nYang tidak tenteram ada teguran\nAtas tingkah laku jelek perbuatan\nHukum dijaga dengan kemampuan\nNasihatkan yang keji cari arah jalan.\nBaikkah orang harap limpah kurnia?\nDiberikan lebih sebahagian kamu\nBanyak harta tetapi tidak ilmu\nHasil kerja bukannya tidak tentu\nAllah tahu apa tersimpan di kalbu.\nBaikkah orang tunjukkan amal?\nDiri berjubah dari pagi ke petang\nWanitanya tutup aurat malam siang\nKe mana saja jaga diri kenali orang\nAkhlak bagus tahu kasih sayang.\nBaikkah orang beramal ibadat?\nBangun tengah malam tidak mungkir\nSolat tahajud sempurnakan witir\nSolat tasbih solat hajat dan zikir\nBersihkan diri sucikan batin zahir.\nBaikkah orang beramal ibadat?\nSetiap masa ke masjid atau surau\nTekad istiqamah waktu dijangkau\nKe majlis ilmu dari hidup\u00a0 merayau\nTidak sombong bagaikan Pak Malau.\nV\nApakah cara amalkan tanggungjawab?\nWarisi teladan ibu bapa kaum kerabat\nUkhuwah tolongi kesusahan diperhebat\nKekal tidak luput memberi nasihat\nLangkah dakwah sederap tetap.\nApakah cara amalan soleh solehah?\nIsteri taatkanlah Allah dan suami\nWajib dipelihara kehormatan diri\nKetika suami tiada di sebelah sisi\nJangan yang salah pula suami cari.\nApakah cara bina kesejahteraan?\nDorongkan rukun hidup aman damai\nNasihat berguna elakkan cerai-berai\nKerjakanlah kebajikan secara landai\nBerbakti bantu orang dalam permai.\nApakah cara elakkan ujub riak takabbur?\nApabila timbul sombong rasa agah\nBanggakan diri harta melimpah ruah\nJangan dibiarkan iman punah ranah\nMendabik dada akulah bukan sampah.\nApakah cara kukuhkan iman dan taqwa?\nBuatlah apa disuruh jauhilah larangan\nAgama tetapkan halal haram itu ajaran\nHukama ditanya siapakah seburuk insan\nDijawab lihatlah orang gendong kekejian.\nApakah cara kukuhkan iman dan taqwa?\nTanya diri siapakah orang yang baik\nRasa tanda buruk di dirinya berbelit\nWaspadai hati tidak berbolak balik\nZikir bawa hati tenang tidak sakit.\nApakah Allah Pemaaf dan Pengampun?\nKeras dosa di dada berbatu karang\nMembesar di hati tidak berkurang\nJika tidak dirasakan Allah Penyayang\nAmbillah tahu di mana diri kecundang.\nApakah manusia tahu saat diri ikhlas?\nDi mana atau bilanya ikhlas datang\nKuat amal ibadat tidak kenal jurang\nBuat kebajikan pada alang kepalang\nMasa amalan diri tidak terkandang.\nApakah kerja kebajikan Allah terima?\nTidak siapa tahu yang mana satu\nBilakah masa dan di mana tertentu\nTeruskanlah tanpa perlu menunggu\nKebajikan demi Tuhan Yang Satu.\nApakah cara ikhtiar di semua keadaan?\nMohonlah berlindung kepada \u00a0Tuhan\nTidak semua perkara dalam pengetahuan\nInsaf diri banyak kelemahan kekurangan\nAkan kerugian jikalau tiada keampunan.\nApakah dirasa orang lebih sempurna?\nKalau di bahtera selamat dipinta\nBukan azab yang amat pedihnya\nBerkat kesenangan hidup di dunia\nPelihara diri dari tabiat tercela.\nVI\nBolehkah dikatakan kita paling buruk?\nAda kalangan manusia simpan fikiran\nSikap molek bersihkan dosa perbuatan\nComel amalan jadi saksi kebenaran\nPadahnya buruk jika ingkari Tuhan.\nBolehkah kita katakan perbaiki diri?\nBeriktikad tiada Tuhan selain daripada-Nya\nDari bahan-bahan bumi kita dijadikan-Nya\nTiada pergerakan makhluk melainkan kuasa-Nya\nPerbaiki diri membantu orang lain sama.\nBolehkah kita wujudkan keikhlasan hati?\nTeliti seruan kepada kaum terdahulu\nSembahlah kalian Allah Yang Satu\nKenapakah dibantah Rasul-rasulmu\nMereka pembawa penyuluh hala tuju.\nVII\nBagaimanakah diperoleh redha Allah?\nBerikhtiar berdoa menaruh tawakal\nPanjatkan harap dengan rasa tekal\nHidup bersama makmur terkawal\nPerbuatan syirik jangan diamal .\nBagaimanakah latih diri jadi tawaduk?\nSelalu mohon ampun pandang Allah\nAqidah dan tauhid yang tidak terbelah\nLawanlah ujub takabbur jangan beralah\nBuangkan riyak sejauh-jauh arah.\nBagaimanakah kelembutan kasih sayang?\nHubungan sesama insan berikan salam\nSalam sejahtera ke atas anda sekalian\nPupuk persahabatan perkukuh setiakawan\nJadikannya nilai budaya sebagai amalan.\nBagaimanakah menjadi lebih dewasa?\nAwasi tidak pelik sewaktu bertindak\nCemas suasana sampai orang muak\nKelihatan perangai cara budak-budak\nSuara terlolong seumpama badak.\nBagaimanakah elokkan tingkah laku?\nCari jalan petunjuk suruhan Allah\nRahmat-Nya sinar cahaya melimpah\nBanyaknya eloknya mengubah tingkah\nKetepikan mazmumah ambil mahmudah.\nBagaimanakah dibawa sisa usia?\nPecahkanlah ruyung kaut sagunya\nItu hikmah madah orang tua-tua\nBijak pimpinan bawa orang bersama\nTumpang kasih gerak daya usaha.\nBagaimanakah dielak orang hiba?\nHatinya tidak sakit kerana kita\nKata atau tulisan tiada cerca\nMaju mundur langkah bergaya\nSama bertahan angkara binasa.\nVIII\nBagaimanakah dikenali Ulul Albab?\nSungguhlah pada kejadian langit bumi\nKebesaran Pencipta manusia renungi\nDisaksikannya pada pertukaran hari\nMalam siang bertukar tidak terperi.\nBagaimanakah dilihat segala tanda?\nSeperti firman-Nya Dialah berkuasa\nAda tanda Bijaksana luas hemah-Nya\nOrang-orang berakal memikirkannya\nTidak semua ini, Dia jadikan sia-sia.\nBagaimanakah dikelih setiap kejadian?\nManusia memandang mulut menyebut\nKenangi Allah waktu berdiri dan duduk\nBerbaring mengiring buat hati runduk\nTidak lupa kerbau lembu itu bertanduk.\nBukankah harus perlu sikap diambil?\nTambahkan keimanan tidaklah jemu\nTidak bersimpang siur jalan tuju\nHati manusia hanya Allah tahu\nKembali pada-Nya jika terkeliru.\nBukankah pada fikiran manusia?\nTiba azab Allah tanpa menyangka\nAtau secara terang datang menerpa\nTahu siapakah kelak akan binasa\nKaum penzalim pendusta derhaka.\nBukankah setiap bernyawa rasai mati?\nApabila roh meninggalkan badannya\nTiada lain kecuali tuju ke akhirat jua\nJika tidak terpedaya mewah dunia\nTerhindar neraka ertinya ke syurga.\n\u00a0\nPenyampai Gurinsya I | Zafirah Bahiah Hassan\nPenyampai Gurinsya II | Raihani Mohd Saaid\nBaca proses kreatif ciptaan gurinsya di sini." "Gurinsya: Suatu Inovasi dalam Proses Kreatif\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAtas pengalaman puisi yang panjang, A. Aziz Deraman memperkenalkan sebuah genre puisi tradisional yang inovatif, \u201cgurindam syair\u201d atau gurinsya.\nIstilah memang boleh sahaja dicipta bersumberkan petunjuk daripada apa-apa yang ada dalam bahasa induk, yakni bahasa Melayu atau jika tiada, dirujuk pada bahasa rakyat asal di negara sendiri atau serantau, bahasa-bahasa daerah dan daripada mana-mana dialek Melayu.\nDalam kumpulan puisi persendirian saya, Cakna Budi yang diterbitkan oleh Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), terdapat sebuah puisi berjudul \u201cSayangi Ibu Bapa\u201d. Saya agak sukar untuk memberikan kategorinya. Adakah ia sajak atau gurindam atau syair. Ia seperti sebuah gurindam tetapi tidak seperti kelaziman tafsiran pada gurindam. Bukankah gurindam itu dimaksudkan kepada bentuk puisi yang terdiri daripada bait dua baris, manakala syair pula empat baris satu rangkap dengan isinya membawa berbagai-bagai pengajaran dan nasihat? Sajak pula lebih bebas, tiada ikatan aturan sebagaimana gurindam dan syair. Hal itu sudah menunjukkan suatu keunikan dalam proses kreatif sastera Melayu.\nPada masa kini, syair dan gurindam merupakan antara puisi tradisional yang agak terpinggir, sebagaimana masyarakat sedang melupakan nazam. Pada saya, puisi-puisi tradisional seperti syair dan gurindam perlu dihidupkan kembali. Pantun masih tetap bertahan, kekal dihayati dan ciptaannya masih berkembang melalui seni persembahan dikir barat, boria, ghazal, dondang sayang dan bermukun serta masih digunakan semasa diadakan sesuatu majlis. Juga ada bermacam program atau kegiatan yang dianjurkan oleh pelbagai institusi, organisasi dan pihak-pihak tertentu yang bertujuan untuk memajukan genre ini.\nIdea menulis puisi \u201ccampuran\u201d antara gurindam dengan syair ini terjadi agak spontan. Entah bagaimana cetusan ilhamnya boleh tiba. Ciptaannya memang berbentuk baharu. Ia tidaklah gurindam atau syair per se, tetapi gurindam dalam syair atau gurindam syair. Konsepnya semacam sama sebagaimana gurindam, biarpun tidak pada bentuknya. Ia tetap sebuah puisi, cuma mengambil adunan antara gurindam dengan syair, gabungan ciri-ciri gurindam. Ia tidak lagi dua baris, tetapi lima baris; ada unsur syair pada empat baris kemudian, iaitu sambungan pada permulaan di baris pertama.\nPuisi bentuk ini saya anggap sebagai \u201csuatu inovasi dalam proses kreatif\u201d sendiri. Bentuk lima baris untuk satu rangkap itu mengambil baris pertamanya cara gurindam, dan diikuti empat baris bentuk syair lengkap, khususnya dari segi rimanya. Keutamaan jumlah perkataannya yang terbaik tetap empat patah. Sungguhpun begitu, ada kelonggaran sekiranya timbul keperluan, menggunakan tambahan kata untuk menjelaskan maksud, asalkan dengan suku kata yang pendek.\nDalam dunia persuratan Melayu, Raja Ali Haji menggunakan gurindam bagi menyampaikan fikiran dan nasihat kepada keluarga diraja agar menjauhkan sifat-sifat negatif atau tercela (mazmumah) dalam kehidupan (A. Aziz Deraman, Wacana Peradaban Malaysia, 2010:260). Misalnya dalam \u201cGurindam Dua Belas\u201d, beliau menyebut:\nApabila banyak berkata-kata,\nDi situlah jalan masuk dusta.\nApabila banyak berlebih-lebihan suka,\nItu tandanya hampirkan duka.\n\u00a0Apabila banyak mencela orang,\nItu tandanya dirinya kurang.\nHampir sama dengan gurindam ialah nazam yang juga banyak menyelitkan nasihat dan kata pesan buat panduan hidup. Misalnya Pak Tenas Effendy, budayawan Melayu Riau-Indonesia, mentafsirkan beberapa tanda \u201cMelayu\u201d dan \u201ckemelayuan\u201d itu. Bagi beliau \u201cMelayu\u201d, antaranya ialah amalan cara hidup yang sederhana, tidak bermewah-mewah, dan mengimbangi kehidupan dunia dengan akhirat:\nApa tanda Melayu jati,\nBermewah-mewah dia tak sudi.\n\u00a0Apa tanda Melayu jati,\nDunia akhirat hidup serasi.\n\u00a0Apa tanda Melayu jati,\nTahu dunia akhirat mengerti.\n\u00a0Apa tanda Melayu terpuji,\nHidup sederhana sampai mati.\nIstilah memang boleh sahaja dicipta bersumberkan petunjuk daripada apa-apa yang ada dalam bahasa induk, yakni bahasa Melayu .\nTrend menulis syair berputik di hati saya pada tahun 2013, lalu datang idea untuk mengubah \u201cgurindam syair\u201d ini. Syair pertama yang saya tulis ialah semasa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu dan kemudiannya ke Kertih dan Kuantan pada 20\u201328 Jun 2013. Syair alam sekitar itu bertajuk \u201cJerebu Oh Jerebu\u201d, diterbitkan dalam kumpulan puisi persendirian Gelora Nurani (ITBM, 2015) mengandungi 41 rangkap. Manakala dalam buku yang sama, sebuah syair agama berjudul \u201cYa\u201d ada 12 rangkap, terhasil di Bandar Putra Permai pada 26\u201331 Julai 2013 (bersamaan 17\u201322 Ramadan 1434H). Di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), yang saya menjadi Ahli Panel Penyelidikan dan Penerbitan MAIK dan Ahli Jawatankuasa Adat Istiadat MAIK (sejak tahun 2013), kami juga menerbitkan karya berbentuk syair, Syair Adat Istiadat Kesultanan Melayu Kelantan (2019).\nSewaktu saya menduduki Lembaga Pengarah, Pembangunan Wilayah Segi Tiga JENGKA di Pahang (1990), pihak pengurusan mereka menamakan Balai Orang Ramai sebagai \u201cBalora\u201d, dan di sana ada dewan dinamakan sebagai \u201cBalora Mestika\u201d. Istilah \u201cpawagam\u201d dicipta bagi akronim panggung wayang gambar semasa Allahyarham P. Ramlee sudah berpindah dari Singapura ke Studio Ulu Kelang. Cuba teliti rangkap-rangkap berikut dalam \u201cSayangi Ibu Bapa\u201d yang saya anggap sebagai gurindam dalam syair, atau \u201cgurindam syair\u201d. Inilah yang saya namakan sebagai gurinsya:\nApakah tanda kita sayangi ibu bapa?\nAdakah kerana kita selalu ziarahi kubur\nKetika rumput melata semakin subur\nDipotong dibersihkan dedaun yang gugur\nSedangkan iktibar di hati kian lebur.\n.\nApakah yang sedang mereka harapkan?\nTentulah antara lain ada keampunan\nSemoga anak-anak mohon rahmat Tuhan\nAgar makbul-Nya jadi terbaik kurniaan\nDalam kembara menuju hari perhitungan.\n.\nBukankah mati setiap makhluk bernyawa?\nTidak mati melainkan dengan izin-Nya\nItulah ketetapan sebagai ajalnya\nYang sudah tertentu masa ketika\nAda bahagian balasan buat semua.\nBentuk seperti di atas mungkin sahaja bermula dengan pertanyaan atau seumpamanya pada baris pertama, bebas rima. Empat baris yang mengekori mengambil rima syair sepenuhnya, dan menjadi kesatuan dalam rangkap yang sama. Saya terfikir untuk memberikannya satu istilah apabila menggabungkan unsur gurindam dan syair ini. Jika tidak, apakah jenis puisi sedemikian boleh dipanggil? Saya meneliti, perlunya ada satu dua pilihan akronimnya. Adakah ia akan menjadi \u2018gurinsa\u2019 (gurindam+sajak), \u2018sasyarindam\u2019 (sajak+syair+gurindam), \u2018sagurindam\u2019 (sajak+gurindam), atau \u2018gurinsya\u2019, yakni gurindam dalam syair (seperti yang dimaksudkan tadi). Lebih ringkas lagi ialah \u2018gurindam syair\u2019.\nIlham gurinsya saya yang terkini berjudul \u201cAmalan dan Kebajikan\u201d, tertulis di Kota Bharu pada 15\u201325 Jun 2021 sebanyak 60 rangkap. Gurindam syair ini mengambil tema agama yang membicarakan persoalan tauhid dan aqidah, keimanan dan taqwa, asal usul kejadian manusia, seruan dan tuntutan agama, rukun-rukun dalam Islam, amal ibadat, akhlak, kebajikan, Ulul Albab, dan ancaman balasan Allah SWT terhadap mereka yang kufur. Cuba teliti beberapa rangkap berikut:\nBukankah al-Quran isinya segala?\nAllah tegaskan setiap kebenaran\nKisah kejadian hingga ke balasan\nDiterangkan sifat-sifat orang beriman\nSembahlah Allah bukan disekutukan.\n.\nBukankah agama di sisi Allah hanya Islam?\nTidak berselisih agama Yahudi-Nasara\nAda kitab-kitab yang mereka terima\nLalu tahu yang sah kebenarannya\nDi tolak oleh hasad dengki di dada.\n.\nBukankah Allah berikan peringatan?\nTentang amal ibadah dan kebajikan\nJika berbantahan banyak perselisihan\nKembalilah kalian kepada al-Quran\nAmbil pedoman Sunnah Junjungan.\n.\nApakah itu kuasa mengada meniada?\nTentulah Allah Yang Maha Kuasa\nDi fikiranmu siapakah lebih berkuasa\nJika lenyap pendengaran dari telinga\nLenyap penglihatan mata menjadi buta.\n.\nDi manakah baiknya Haji dan Umrah?\nTertunailah Rukun tegakkan agama\nApabila diri mampu sudah berupaya\nKunjungilah Mekah terbilangnya kota\nZiarahlah Madinah ambil barokahnya.\n.\nBukankah setiap bernyawa rasai mati?\nApabila roh meninggalkan badannya\nTiada lain kecuali tuju ke akhirat jua\nJika tidak terpedaya mewah dunia\nTerhindar neraka ertinya ke syurga.\nIstilah memang boleh sahaja dicipta bersumberkan petunjuk daripada apa-apa yang ada dalam bahasa induk, yakni bahasa Melayu atau jika tiada, dirujuk pada bahasa rakyat asal di negara sendiri atau serantau, bahasa-bahasa daerah dan daripada mana-mana dialek Melayu. Maka atas prinsip yang sama ini, saya bercadang memilih kata \u2018gurinsya\u2019 (gurindam syair, yakni gurindam dalam syair) untuk puisi berbentuk begini. Hal ini saya serahkan juga kepada pandangan pemikir atau sarjana sastera bagi menetapkan satu istilahnya. Wallahualam.\n\nBaca gurindam syair terbaharu beliau, \u201cGurinsya Amalan dan Kebajikan\u201d.\n _________________________\nA. Aziz Deraman atau Dato\u2019 Haji Abdul Aziz Deraman pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (1994\u20132004) dan kini merupakan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN). Antara karya bukunya termasuklah kumpulan puisi Bahtera Madani (DBP, 2001), Kau dan Aku (DBP, 2004), Suara Gunung Kehidupan (DBP, 2014), Gelora Nurani (ITBM,2015), kumpulan esei Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia (DBP, 2002) dan Geger Sokmo (Buku Prima, 2011)." "Pengisian Kemerdekaan dalam Minda Penulis Pascamerdeka\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSebilangan pihak akan bersetuju dengan kemerdekaan yang didefinisikan oleh Sasterawan Negara (SN) Dato\u2019 Dr. Anwar Ridhwan bahawa kemerdekaan yang diangkat dan diwacanakan secara umum biasanya merupakan kemerdekaan politik. Dalam hal ini, wujudnya satu kuasa besar yang menjajah satu wilayah, dan kegiatan anak watan yang berjuang membebaskan wilayah mereka daripada cengkaman kuasa penjajahan itu. Namun begitu, Anwar Ridhwan lebih cenderung untuk melihat sebuah kemerdekaan sebenar dalam kehidupan manusia yang lebih rumit, dan perjalanannya memakan tempoh yang sangat panjang dan berterusan.\nSastera dan kemerdekaan kadang-kadang dilihat sebagai entiti yang rapat dan bergerak sama, namun dari sudut perspektif lain pula, ada polemik yang berbeza rona, pemikiran dan kegiatannya, yang memainkan peranan menentukan titik temu antara unsur kesusateraan dengan kemerdekaan.\nSiri Wacana PENA minggu kelapan kali ini melalui tajuk \u201cSastera dan Kemerdekaan, Di Mana Titik Pertemuan?\u201d membincangkan hal ini, dengan dua panel undangan, SN Dato\u2019 Dr. Anwar Ridhan, penerima SEA Write Award Datuk Jasni Matlani, dan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad sebagai panel tetap. Wacana ini dikendalikan oleh Mohd Khair Ngadiron.\nSeterusnya, Saleeh Rahamad memberikan respons terhadap pendapat Anwar tentang kemerdekaan dengan menganggap bahawa dari sudut falsafah, manusia boleh memegang rasa kemerdekaan apabila mereka berjaya mengungkapkan kebenaran mutlak, seperti berani untuk bersikap berani tanpa rasa takut pada undang-undang, sekatan ekonomi dan kekangan sosial.\nMenurut Jasni Matlani pula, sastera memang mempunyai peranan besar dalam kemerdekaan, melihat sejarah prakemerdekaan, ranah penulisan ketika itu banyak memainkan peran untuk menyuarakan semangat patriotik dan cinta kebangsaan kepada khalayak.\n\u201cCuma pelaksanaannya hari ini sedikit terkekang. Malaysia mempunyai rutin tahunan, rutin untuk menulis dengan tema kemerdekaan hanya apabila tiba pada satu musim yang tertentu, iaitu musim kemerdekaan,\u201d tambah Jasni.\nSaleeh juga bersetuju dengan perkaitan antara sastera dengan merdeka. Dengan menginjak semula ke ranah tradisional, katanya, \u201cKegiatan penulis untuk berkarya dengan sifat kemerdekaan sudah muncul sejak dahulu. Sastera tradisional mempunyai karya yang dihasilkan dengan sangat halus untuk mengkritik, yang ketika itu ialah\u00a0 zaman feudal.\n\u201cNaskhah yang dihasilkan ketika itu menampakkan pemikiran feudalisme yang masih pekat. Namun, pengarangnya berhati-hati untuk menyampaikan ideologi melawan feudal. Kekangan ini juga sebenarnya menghasilkan satu stimulus atau perangsang untuk penulis menghasilkan karya yang lebih berstrategi. Itulah sebab lahirnya karya yang menyembunyikan perlawanan terhadap feudal,\u201d sambung Saleeh.\nBagi membesarkan lagi ranah wacana, Anwar Ridhwan mengaitkan kemerdekaan dan sastera sebagai dua unsur yang tidak bertemu, \u201cKemerdekaan ini bersifat panjang, kerana ia tidak melibatkan politik semata-mata, Ia luas, untuk mencari sukma, mencari keberanian, hala dan arah tuju masa depan kita, kerana ia adalah satu perjalanan, bukan destinasi.\u201d\nMenerusi wacana ini, Anwar mengatakan yang memang wujud kegiatan sasterawan berkarya dengan hasrat negara yang akan merdeka. Namun beliau menegaskan, kedua-dua unsur ini bergerak selari namun tidak bertemu.\nMerdeka politik telah dicapai pada 31 Ogos, namun kemerdekaan untuk penulis adalah dengan melihat maslahat umat dijaga oleh pemimpin dan pentadbir setelah peristiwa kemerdekaan 31 Ogos itu, yang beliau anggap sebagai kegiatan penghasilan naskhah sastera untuk mengisi kemerdekaan.\nBagi Saleeh pula, pemikiran sastera selepas merdeka bercambah tinggi dalam kalangan masyarakat Malaysia yang mula membuka peluang rakyatnya untuk menuntut di menara gading.\n\u201cBanyak sasterawan kontemporari sekarang juga sudah menghasilkan karya dengan pengisian kemerdekaan, tapi bukan untuk merdeka daripada penjajah. Mereka menghasilkan karya yang berisi kemerdekaan pemikiran, untuk merdeka daripada penjajahan minda, dalam bentuk perlawanan budaya. Hal ini dapat ditemui dalam karya Rebecca Ilham, Ruhaini Matdarin, Sri Rahayu, dan ramai lagi,\u201d ujar Saleeh.\nBgainya. itulah pentingnya sistem pendidikan negara. Sebelum merdeka dan awal merdeka, pendidikan sastera ketika itu meluas, melahirkan banyak bakat dan tukang sastera yang hebat, dan kebanyakannya berasal dari luar bandar. Mereka menjadikan isu-isu kemanusiaan, seperti kekurangan kemudahan dan kelemahan negara diangkat melalui sastera. Anwar Ridhwan menanggap, itu sebabnya pengisian kemerdekaan menjadi satu isu yang sangat rapat dengan sastera dalam ranah pascakemerdekaan.\n\u201cSetelah pendidikan negara kita berkembang, kita melihat pergerakan pendidikan berubah, memisahkan secara terang antara bidang humanis dengan bidang sains, sekali gus memisahkan bidang sastera dengan bidang sains.\u201d ujar Anwar.\nJasni Matlani menghidangkan sebuah solusi jangka masa panjang untuk menyuburkan semangat sastera yang merdeka pada khalayak. Beliau menekan kepentingan peranan pentadbir yang memegang polisi dalam perkembangan bahasa dan sastera negara, namun tidaklah bergantung pada mereka sahaja untuk memulakan langkah. Sebaliknya, karyawan dan sasterawan juga perlu memainkan peranan untuk berkarya dengan gagasan merdeka yang berani.\n\u201cPenulis menulis bukan untuk menyelesaikan masalah, tapi untuk menyuarakan rasa hati supaya kekhuatiran mereka dapat disampaikan kepada khalayak ramai dan mereka yang boleh merubah polisi,\u201d ujar Jasni.\nTonton wacana penuh di sini." "Kosmopolitan Pasca COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nS.M. Zakir mengikatkan cerpen \u201cDunia adalah Sebuah Apartmen\u201d, konsep Panopticon dan Orwellian, serta filem The Matrix untuk menampilkan perkara yang mungkin dan akan terjadi selepas norma COVID-19.\nPasca COVID-19 dilihat akan membawa naratif baharu kosmopolitan. Sistem perlahan-lahan runtuh, dan menumbuhkan anomi, iaitu penyimpangan normal atau keruntuhan etika ke arah kecelaruan, dan mendekati anarki.\nKetika cerpen \u201cDunia adalah Sebuah Apartmen\u201d Anwar Ridhwan diterbitkan dalam Dewan Sastera Mac 1973, apa yang disaksikan dari mata kasar ialah gambaran kehidupan kosmopolitan yang dijustifikasikan secara negatif melalui kehidupan yang melanggar susila. Tetapi dari sudut yang lain, dapat dilihat dunia itu terbentuk seakan-akan sebuah apartmen; iaitu sebuah kehidupan yang tersusun berkotak-kotak dengan rapi, akur dan patuh. Lebih daripada itu, ia seperti dikawal oleh struktur sistem yang ketat. Sepertimana yang dibayangkan oleh Agnes dalam kata-katanya, \u201cHidup di apartmen bertingkat-tingkat ini tidak ubah bagai hidup di dalam penjara, tetapi adalah baik dari hidup penuh angan-angan tanpa peraturan.\u201d\nDi sini, ia memperlihatkan sistem yang mengawal kehidupan manusia. Bagaimana jika kita melihat bahawa pergerakan manusia diperhatikan dari menara pengawal oleh pengawal yang tidak kelihatan. Pada peringkat kedua, subjek dibentuk untuk mengikut norma yang ditetapkan dalam sistem melalui pendidikan, kerjaya dan pergaulan sosial. Peringkat akhir ialah pemeriksaan, yakni subjek diberitahu tentang status mereka dan apa yang patut mereka lakukan untuk mengekalkan mereka sebagai warga yang \u201csihat\u201d. Pemberitahuan ini bukan dilakukan secara langsung tetapi melalui kempen, malah propaganda yang dipantakkan saban hari.\nKiasan ini sebenarnya muncul daripada pemikiran Jeremy Bentham yang kemudian dikembangkan oleh Michel Foucault yang membangunkan konsep Panopticon. Tidak aneh sebenarnya untuk melihat reka bentuk yang dikemukakan oleh Bentham tentang masyarakat di bawah kawalan negara bersifat bangunan yang diawasi oleh menara peninjau yang melihat semua pergerakan subjek dalam perimeter yang dikuasai. Hal ini kerana, tulisan Bentham yang mengagumi Revolusi Perancis sejak awal lagi menyatakan \u201csemua undang-undang berniat jahat, kerana semua undang-undang melanggar kebebasan\u201d.\nSementara Foucault mengembangkan konsep Panopticon dengan melihat sikap kekuasaan yang mengatur segala-galanya untuk dipatuhi. Panopticon berbentuk sistem yang bergerak dalam aturan tetap, dan mempunyai kaedah yang tersendiri dalam mendapatkan kepatuhan. Sebagai contoh, penghuni sebuah apartmen perlu mempunyai pas untuk keluar masuk, tanpa pas mereka tidak boleh keluar masuk. Untuk mendapatkan pas mereka perlu mengikut peraturan lain, seperti membayar yuran penyelenggaraan setiap bulan. Maka, setiap peraturan berkaitan dengan peraturan lain memerlukan mereka bekerja untuk mematuhinya. Hal ini memperlihatkan tentang kawalan, normalisasi dan pemeriksaan tidak kelihatan atau halimunan yang berupa sistem.\nApa yang dibawa oleh Bentham dan kemudian Foucault berada sebilik dengan fikiran Orwellian, yang melihat sistem sebagai kekuasaan fundamental yang bersifat drakonian. Apabila filem The Matrix oleh adik-beradik Wachowski yang diterbitkan pada tahun 1999, penampilannya kekal membawakan sisi pandang Orwellian, namun melihat daripada medium yang berbeza, yakni peralihan kepada dunia simulacrum. Watak utamanya, Neo, difahamkan bahawa The Matrix ialah sistem, dan sistem itu musuh. Manusia-manusia bergerak dan bekerja dalam keterikatan dengan sistem lalu perlu disedarkan akan penindasan sistem, namun pada masa yang sama, mereka juga merupakan sebahagian daripada sistem. Sebahagian besar daripada mereka bergantung sepenuhnya pada sistem sehingga dilumpuhkan daripada melihat kebenaran di luar sistem. The Matrix masih berupa sebuah naratif penentangan terhadap sistem.\nDoktrin dan aliran terhadap sistem dan kekuasaan ini merujuk dunia kosmopolitan, yang mengisi kehidupan kosmopolitan. Ya, dunia sebuah apartmen itu. Namun, pandemik COVID-19 telah mengubah sisi pandang yang melihat sistem sebagai musuh. Sistem yang dilihat sebagai berkuasa telah runtuh. Perimeter kawalan pecah dan individu bercelidaran menanggung nasibnya sendiri. Pasca COVID-19 dilihat akan membawa naratif baharu kosmopolitan. Sistem perlahan-lahan runtuh, dan menumbuhkan anomi, iaitu penyimpangan normal atau keruntuhan etika ke arah kecelaruan, dan mendekati anarki. Anomi ini ialah media sosial, sebuah ruang keruntuhan etika masyarakat yang menyerang apa-apa sahaja, kerana setiap individu bebas menyatakan pandangan di ruang awam \u2013 tanpa kejelasan benar atau salah. Anomi media sosial ini melahirkan apa yang dikatakan sebagai nation of naysayers.\nEra pasca COVID-19 akan melahirkan sebuah kosmopolitan yang baharu. Era ini bukan lagi sebuah kosmopolitan yang dicengkam oleh kekuasaan sistem, tetapi kosmopolitan yang bercelaru dengan keruntuhan etika dalam gelombang media sosial yang tidak terkawal. Masyarakat menjadi terlalu cerdik dalam kedunguan mereka. Sisi pandang Orwellian dan Panopticon tidak lagi terpakai. Fenomena ini mungkin mengulangi sejarah pasca Revolusi Perancis yang menyaksikan anarki rakyat yang bingung oleh politik para reformis daripada kaum Parisan-Jacobin. Akhirnya, bersilih ganti kehilangan kepala di gilotin. Pasca COVID-19 ialah pasca Revolusi Perancis dalam wajah dan karakter yang baharu. Individu tidak kehilangan kepalanya di gilotin tetapi di media sosial.\nMaka ketika itu, masyarakat akan memikirkan kembali tentang perlunya sistem dan kekuasaan sekukuh 1984 George Orwell, atau setidak-tidak merindukan dunia yang didambakan oleh Agnes, \u201cHidup di apartmen bertingkat-tingkat ini tidak ubah bagai hidup di dalam penjara, tetapi adalah baik dari hidup penuh angan-angan (keruntuhan etika) tanpa peraturan.\u201d Kita akhirnya mungkin akan memilih \u201cdunia sebuah apartmen\u201d yang dikawal oleh sistem Panopticon yang kukuh daripada bercelidaran di dunia Neo yang menerobos dalam doket-doket jaringan maya untuk menghancurkan The Matrix dalam kosmopolitan pasca COVID-19.\nCerpen \u201cDunia adalah Sebuah Apartmen\u201d tinggal di kumpulan cerpen Parasit dan Sesudah Perang. Jika berminat untuk berkunjung, beli di sini.\n_________________________\nS.M. Zakir atau nama penuhnya Syed Mohd Zakir bin Syed Othman dilahirkan pada 4 Februari 1969 di Kota Bharu, Kelantan. Beliau memulakan kerjaya dalam industri media sebelum menjadi penulis sepenuh masa pada tahun 2000. Sepanjang berkarya, S.M. Zakir telah menerima banyak hadiah dan anugerah sastera, seperti Hadiah Sastera Malaysia 1994/1995 bagi kumpulan cerpen Merengkuh Langit (DBP, 1995) dan Anugerah Sastera Negeri Kelantan bagi kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibrail (Pustaka Nusa, 2001), selain Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil, Hadiah Sastera DBP-Maybank, Hadiah Sastera 100 tahun Kuala Lumpur DBP-DBPKL, Hadiah Formula Malaysia, dan Anugerah GAFIM (kritikan filem). Beliau juga telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Muda Mastera 2010 dan penerima SEA Write Awards (Malaysia) 2011." "Majlis Penangguhan DBK dan DMK Peringkat JPA dan MAMPU Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Usaha memartabatkan dan menyemarakkan bahasa dan kesusasteraan Melayu memerlukan pelibatan dan komitmen semua pihak. Menurut YBhg. Dato\u2019 Ts. Kamel Mohamad, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), sinergi strategik agensi pusat bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam penganjuran pelbagai program sama ada yang bersifat kreatif, mahupun bukan kreatif amatlah penting.\n\u201cHarapan kita supaya inisiatif ini dapat mengemukakan suatu wahana ilmu yang dinamik untuk disajikan kepada masyarakat, khususnya kakitangan awam,\u201d katanya semasa merasmikan Majlis Penangguhan Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Tahun 2022 pada hari ini.\nMajlis yang bertemakan pemerkasaan bahasa kebangsaan ini merupakan majlis kemuncak bagi program Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) dan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) peringkat JPA dan MAMPU dengan kerjasama DBP bagi tahun 2022.\nSebanyak lima pertandingan telah dianjurkan pada peringkat JPA dan MAMPU, iaitu pesta pantun, pertandingan fotografi, teka silang kata, mencipta poster dan sudut bacaan terbaik. Tahniah kepada semua pemenang pertandingan." "Setelah Terbina Keyakinan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPagi itu aku tiba di sebuah perpustakaan\nKumasuki ruang ilmu yang tersusun menjadi taman\nKususur tangga impian ke gedung kebijaksanaan\nKutatap kaca dindingnya yang membingkai putih awan.\nPagi itu aku tiba untuk menerima pelantikan\nmenyambut sapaan menjawab salam\nDaerah damai yang bergelar kampus alam.\nPagi itu setelah kuterima pelantikan\nKugenggam watikah dengan jemari\nyang membilang keraguan\nApakah yang dapat kuberi\nkepada sebuah kecukupan\nDi manakah sebenarnya petak\ntempat akan diletak\ndiriku yang keasingan bentuk dan corak.\nNamun hening pagi membuka dimensi\nMendengar bicara seorang Naib Canselor\nYang meyakinkan dengan pekerti dan kata-kata\nPendidikan bukan semata kepakaran teknikal\nTapi pembinaan minda cekal\npemupukan budi dan akal\nfalsafah dan sastera\nmengajar pengalaman manusia\nmembina minda kritis\nkeupayaan menganalisis \u2013\nDalam dunia penuh krisis.\nAku pun telah menyedari\nRevolusi industri\nMenghidangkan canggih peralatan\nDan kuasa rangkaian\nnamun tanpa rasa dan bahasa\nkomunikasi terhenti\nsegalanya mati di hujung jari.\nNamun takdir menentukan\nSayangnya setelah terbina keyakinan\nKita terkandas di perjalanan\nLebuh raya tersekat tersadai semua pesawat\nDalam ujian yang amat berat.\n(BACAAN SYAIR)\nLaut tenang kapal berlabuh,\nTidak berdaya mengangkat sauh,\nHati terkenang ke Ulu Pauh,\nKini kita terpisah jauh.\nDi sini aku mendengar kata-kata\nYang dibina bukan jentera\nTapi kehidupan yang sejahtera\nTerima kasih UniMap\nTerima kasih untuk sebuah sanjungan\nTerima kasih untuk sebuah pengalaman.\nNota | Sajak ini dibaca dalam majlis Malam Kemuncak Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia pada 27 Ogos 2021. Universiti Malaysia Perlis (UniMap) menjadi penganjur utama dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Persatuan Pemuisi Nasional (PEMUISI) dan Angkatan Sasterawan Indera Perlis (AKSARA). Majlis ini turut merayakan Sambutan 20 Tahun Penubuhan UniMap.\nSaya diminta membaca puisi pada majlis itu. Seikhlasnya, saya menulis apa-apa yang saya anggap sesuai dengan perayaan 20 Tahun UniMap. Puisi ini menyatakan penghargaan kepada sebuah universiti kejuruteraan yang turut menyemarakkan kegiatan sastera. Turut membaca puisi pada majlis tersebut ialah Naib Chanselor Profesor Dr. Zaliman Sauli dan Timbalan Naib Chanselor Profesor Dr. Mohd Fo\u2019ad Sakdan.\nUniMap telah melantik saya menjadi Profesor Adjung pada tahun 2019. Sejak itu, UniMap telah menganjurkan Syarahan Sasterawan Negara yang turut diserikan oleh keberangkatan Tuanku Canselor. Kami juga telah menganjurkan bengkel pantun dan penulisan puisi moden.\nPaling menyentuh rasa ialah tersedianya sebuah ruang pameran khas yang dinamakan Sudut Sasterawan Negara Zurinah Hassan. Ruang yang terletak di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra ini mempamerkan lukisan-lukisan yang merupakan ekspresi daripada puisi-puisi saya. Selain itu, mereka juga mempamerkan sebuah sajak saya pada dinding berhampiran pintu masuk utama perpustakaan tersebut." "Kritikan Tidak Profesional Bawa Persepsi Negatif\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Kritikan sastera selalu disalah anggap dan dipandang serong kerana ditulis oleh mereka yang tidak mempunyai illmu tentangnya sekali gus menjadikannya berat sebelah dan tidak bersifat objektif.\nSelain itu, sifat kritikan sastera yang agak teknikal menyebabkan tulisannya kurang difahami oleh pembaca yang kurang pengetahuan tentangnya dan menjadikan genre itu sedikit tenggelam berbanding dengan genre lain dalam sastera, misalnya novel, puisi atau cerpen.\nMantan pensyarah Universiti Sains Malaysia, Datuk Dr. Sohaimi Abdul Aziz, berkata kritikan sastera bukanlah genre yang baharu di Malaysia. Sebaliknya penulisan kritikan sudah dimulai pada tahun 1949 menerusi karya kritikan Aminuddin Baki terhadap novel Arena Wati.\n\u201cBagaimanapun, disebabkan kritikan ini bersifat akademik selain dikaji dan ditulis kebanyakannya oleh pensyarah universiti, ia lebih dikenali dalam kalangan warga universiti.\n\u201cSedangkan kritikan berperanan dalam membantu perkembangan sastera,\u201d katanya dalam Syarahan Perdana A. Kadir Adabi 2021 Siri ke-5, \u201cKritik Memandaikan Pembaca dan Pengkarya Sastera\u201d yang dimudahcarakan oleh pengarang, Rosli K. Matari menerusi laman Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka, pagi tadi.\nSohaimi berkata, kritikan sastera merupakan sejenis tulisan yang menganalisis dan melakukan apresiasi yang mendalam tentang karya sastera oleh mereka yang pakar. Kaedah penulisannya berasaskan prinsip tertentu dan perlu dipelajari.\nKatanya, kritikan sastera berbeza daripada ulasan buku walaupun ada juga ulasan buku yang baik dan boleh dikategorikan sebagai kritikan.\n\u201cUmumnya, kritikan sastera ini ditemui dalam jurnal, buku dan majalah. Kritikan sastera digunakan sebagai sebahagian wahana memandaikan bangsa.\n\u201cMenerusinya, sesebuah karya itu dibedah dengan sebaiknya dan meletakkan satu standard kepada pembaca juga pengarang untuk dicapai.\n\u201cIa juga membolehkan pembaca dan pengarang memilih karya sastera bermutu untuk dibaca, sekali gus menjadikan individu itu lebih menikmati karya dan menghargainya,\u201d katanya.\nMalah tegas beliau, sebagai pengarang kritikan sastera juga mampu menguatkan kreativiti yang kemudiannya mencetuskan idea untuk menghasilkan karya yang baharu.\nSohaimi berpandangan kritikan sastera juga seharusnya memberi pemahaman yang komprehensif, sistematik dan objektif. Genre ini juga berperanan untuk mengajak pembaca berfikir dan merenung mengenai karya berkenaan.\n\u201cIa juga berfungsi memberi pertimbangan kepada pembaca mengenai kelemahan juga kekuatan karya. Menerusinya juga, pembaca mendapat informasi yang lebih terperinci,\u201d katanya.\nTonton syarahan penuh di sini." "UNESCO Iktiraf Enam Program Celik Huruf Digital Sempena Hari Literasi Antarabangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNew York \u2013 Enam program celik huruf cemerlang dari Ivory Coast, Mesir, Guatemala, India, Mexico, dan Afrika Selatan memenangi Hadiah Literasi Antarabangsa sempena Hari Literasi Antarabangsa yang disambut pada setiap 8 September.\nHadiah yang dianugerahkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu, mengiktiraf program yang membantu golongan pelajar belajar membaca serta menulis berdasarkan teknologi.\nKetua Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay, berkata program-program itu berjaya mengubah kehidupan ribuan kanak-kanak, remaja, wanita, dan orang dewasa yang terpinggir.\n\u201cLiterasi memperkasa manusia dan mengembangkan kebolehan serta kebebasan memilih mereka,\u201d katanya, seperti dalam kenyataan UNESCO di laman webnya.\nMengikut statistik, sekurang-kurangnya 773 juta golongan muda dan dewasa di dunia masih belum dapat membaca serta menulis, manakala 250 juta kanak-kanak gagal memperoleh kemahiran literasi asas. Begitu juga lebih ramai wanita buta huruf berbanding dengan lelaki, malah kaum Hawa semakin ketinggalan dalam persekitaran digital.\nLebih malang, situasi itu dijangka memburuk dengan gangguan persekolahan akibat COVID-19, menyebabkan kehilangan peluang pembelajaran dengan 23.8 juta kanak-kanak dan remaja lagi dianggarkan tercicir atau tidak memiliki akses kepada sekolah pada tahun ini akibat impak pandemik terhadap ekonomi sahaja.\nAnugerah itu disampaikan pada Persidangan Antarabangsa Literasi untuk Pemulihan Berasaskan Manusia: Mendekatkan Pemisahan Digital yang dianjurkan secara maya pada 8 dan 9 September.\nTiga anugerah masing-masing dari Guatemala, India dan Afrika Selatan dianugerahkan Hadiah Literasi King Sejong UNESCO yang mengiktiraf sumbangan pembangunan literasi berasaskan bahasa ibunda yang ditaja oleh Kerajaan Korea Selatan.\nAnugerah pertama dimenangi oleh Program Penyiaran Cerita Dwibahasa yang mempromosi literasi secara interaktif di kawasan pedalaman Guatemala, dianjurkan oleh Limitless Horizons Ixil (LHI).\nSebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), LHI menumpukan usaha terhadap isu ketidakseimbangan gender dan meningkatkan penghasilan pendidikan di Chajul sejak tahun 2004. Prakarsa ini menggunakan pendekatan pembelajaran jarak jauh dengan mengoptimumkan penggunaan radio, televisyen dan perpustakaan komuniti kepada generasi muda Maya Ixil yang berhadapan dengan risiko tercicir daripada sekolah kerana pandemik COVID-19.\nAnugerah kedua pula diraih oleh Institut Sekolah Terbuka Kebangsaan (NIOS), India yang membolehkan orang kurang upaya (OKU) mendapat akses pendidikan menggunakan teknologi bahan pembelajaran inklusif terhadap kandungan berasaskan bahasa isyarat India.\nSebagai organisasi autonomi di bawah Kementerian Pendidikan India, NIOS menyediakan pendidikan berkualiti kepada semua dengan pembelajaran terbuka dan jarak jauh, sekali gus menjadi antara program sekolah terbuka terbesar di dunia dengan jumlah kumulatif jutaan pelajar.\nBeroperasi sejak tahun 2016, program itu menumpukan keperluan pendidikan kepada OKU dan kumpulan minoriti lain dengan menawarkan persekitaran inklusif dan memberikan pilihan subjek fleksibel kepada pelajar. Mereka bukan saja boleh meningkatkan keupayaan akademik, bahkan memperoleh kemahiran vokasional.\nAnugerah ketiga pula diberikan kepada Yayasan Sastera Kanak-kanak Puku yang mempromosikan sastera kanak-kanak dalam bahasa orang asal di Afrika Selatan. Sebagai NGO yang ditubuhkan pada tahun 2009, yayasan itu bertujuan untuk mempromosikan budaya membaca dan perkembangan buku untuk membantu kanak-kanak, khususnya yang mendiami kawasan miskin memperoleh akses kepada buku dalam semua bahasa etnik di Afrika Selatan.\nDi bawah program itu, bengkel dan aktiviti sosial media diadakan untuk melatih tukang cerita, penulis, guru, pustakawan, pelatih bahasa, aktivis budaya dan literasi, serta ahli akademik dalam komuniti bahasa orang asal, khususnya untuk mengajar kanak-kanak.\nSepanjang pandemik COVID-19 ini, Puku menganjurkan webinar bersiri buat julung-julung kalinya dalam bahasa orang asal dalam kalangan dan antara pelbagai komuniti linguistik melalui radio serta media sosial.\nSetiap pemenang Hadiah Literasi King Sejong UNESCO menerima pingat, diploma dan hadiah wang tunai bernilai AS$20 000 (RM83 100).\nTiga lagi pemenang menerima Hadiah Confucius untuk Literasi UNESCO yang mengiktiraf sumbangan mereka terhadap kenal huruf fungsian (functional literacy) dan memanfaatkan persekitaran teknologi dalam usaha menyokong golongan dewasa di kawasan pedalaman serta remaja keciciran sekolah.\nPenerima pertama hadiah ditaja oleh Kerajaan China itu ialah \u201cBuilding & Growing\u201d di Construyendo y Creciendo, Mexico, iaitu NGO yang ditubuhkan pada tahun 2006 untuk memberikan peluang kedua kepada mereka yang memiliki kemahiran literasi rendah atau buta huruf, khususnya pekerja kontrak dan komuniti mereka bagi memperoleh pendidikan berkualiti, diiktiraf dan menyeluruh.\nProgram \u201cBuilding & Growing\u201d memfokuskan penyediaan pendidikan literasi secara digital dan inklusif di tapak pembinaan dan kelas bergerak serta jarak jauh, sekali gus membawa persekitaran pembelajaran kepada pelajar hingga dapat meruntuhkan tembok ekonomi, sosial dan psikologi bagi memperoleh pendidikan serta kemahiran digital penting.\nPemenang kedua hadiah ini pula diraih oleh Universiti Ain-Shams di Mesir yang menjalankan kelas literasi secara dalam talian untuk penduduk pedalaman. Dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Sosial dan Pembangunan Persekitaran universiti ketiga tertua di negara itu, jabatan ini memberikan perkhidmatan pembangunan komuniti kepada golongan miskin, terpinggir dan kampung berkeperluan serta petempatan.\nProjek itu memanfaatkan teknologi digital dalam latihan literasi untuk memperkasa pelajar, khususnya di kawasan pedalaman dan peserta Program Literasi Kebangsaan dengan menyediakan pendidikan, ekonomi serta perkhidmatan sosial kepada mereka. Ia juga menggunakan program insentif dan latihan untuk menggalakkan penyertaan mahasiswa sebagai guru literasi.\nSepanjang krisis pandemik, fokus terarah kepada teknologi dan pembelajaran jarak jauh melalui penggunaan bahan cetak, televisyen, mesej teks, dan platform dalam talian seperti YouTube.\nPenerima ketiga pula ialah Persatuan Guru Literasi yang Menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (GA-TIC) di Ivory Coast yang menawarkan kenal huruf fungsian kepada penjaja di Abidjan.\nBaru ditubuhkan pada tahun 2017, NGO ini berkepakaran dalam pembinaan kapasiti dalam bidang itu dengan menggunakan teknologi digital kepada penjaja dalam kalangan wanita di negara itu.\nObjektifnya untuk memperkasa penerima yang terdiri daripada 95 peratus wanita dan meningkatkan kemahiran membaca, menulis dan aritmetik untuk memperbaiki aktiviti menjana pendapatan.\nKetiga-tiga penerima Hadiah Literasi King Sejong UNESCO menerima pingat, diploma dan hadiah wang tunai bernilai AS$30 000 (RM124 600)." "Pohon Merdeka\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBunga merdeka\nyang dahulu kauhidu harumnya itu\nmasihkah di tanganmu\natau telah jatuh ke tanah\ntidak kaupandang lagi\nPohonnya yang mendewasa\nsubur dan menaungi kita\nberdasawarsa lamanya\nadakah masih kaubaja\ndan kaupedulikan\nketika tanganmu memetik buahnya\nseraya menikmati kemanisannya\natau kaulupakan\nkerana tabii serakah\nbudi tidak perlu dikenang\nmerasa tidak semestinya memberi\nhidup nafsu nafsi\nkerana katamu kubur sendiri-sendiri\nMaka jika pohon berjasa itu\ndimakan anai-anai\nmungkinkah kaubiarkan sahaja\nselama buahnya dapat kautuai\nHaramlah hukumnya\nkaumakan buah yang pohonnya kauabaikan\nmenjadi darah dan daging yang kotor\ntiada barakah padanya\nKepada yang masih bermaruah\ndan tahu akan erti amanah\nkata pupuk pohon merdeka\nkerana justeru di sinilah bersemi\ncinta yang abadi dan murni\ntempat kita mengecap\npelbagai nikmat\ndan sewajarnya tempat\nkita berbakti dan berkhidmat.\nPuisi ini merupakan antara 55 puisi yang terhimpun dalam kumpulan puisi Mencari Makna Diri." "Kerajaan Arah Tangkap Sasterawan Nicaragua, Dituduh Menghasut dan Konspirasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nManagua \u2013 Sasterawan Nicaragua yang pernah dinobatkan dengan anugerah sastera bahasa Sepanyol paling berprestij di dunia, Sergio Ramirez, menjadi antara individu terkini sasaran pihak pendakwaan negara itu.\nRamirez menjadi tokoh pembangkang ke-37 yang dituduh berkomplot menentang negara berdasarkan undang-undang yang diluluskan di Parlimen Nicaragua pada Disember lalu. Turut dituduh ialah tujuh calon presiden.\nWaran tangkap dikeluarkan oleh pendakwa raya terhadap novelis yang pernah memenangi Premio Cervantes (Hadiah Cervantes) pada tahun 2017 itu, ketika negara Amerika Selatan itu semakin menghampiri pilihan raya umum.\nRamirez yang kini berusia 78 tahun pernah berkhidmat sebagai pembantu Presiden Daniel Ortega, tetapi kini menjadi antara pembangkang kepada kerajaan berhaluan kiri terbabit.\nDalam pertuduhan yang dikemukakan oleh pendakwa raya itu, Ramirez dituduh mengeluarkan kenyataan menghasut kebencian dan konspirasi seperti yang dilemparkan kepada calon-calon presiden yang menentang Ortega.\nSelain tuduhan hasutan itu, Ramirez turut dituduh menerima rasuah daripada Yayasan Violeta Barrios Chamorro yang didakwa dengan pengubahan wang haram dan mengancam kedaulatan negara.\nBagaimanapun, Ramirez sudah meninggalkan negara itu pada bulan Jun lalu selepas dipanggil menjadi saksi kes membabitkan yayasan itu.\nTidak cukup dengan tuduhan itu, Ramirez turut didakwa menerima wang daripada organisasi budaya, Yayasan Luisa Mercado, kononnya untuk mengkucar-kacirkan negara.\nRamirez sebenarnya penyokong kuat kerajaan Sandinista yang berkuasa pada tahun 1979, malah pernah menjawat jawatan Naib Presiden ketika penggal pertama pemerintahan Ortega bermula tahun 1985 hingga 1990.\nBagaimanapun, Ramirez mula dilihat bercanggah dengan parti pimpinan Ortega, iaitu National Liberation Front, lima tahun kemudian.\nAntara novel terkenal Ramirez ialah Divine Punishment dan Margarita, How Beautiful the Sea yang turut menerima Hadiah Alfaguara pada tahun 1998.\nNovel Divine Punishment dihasilkan oleh Ramirez ketika masih menjawat Naib Presiden Nicaragua itu, diangkat daripada kejadian jenayah sebenar dengan menggunakan bahan seperti kertas pendakwaan dan laporan mahkamah, selain wawancara dan surat tertuduh." "Si Mata Helang Pengarang Kedua\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNor Muhamad merenung kembali tugas beratnya sebagai editor di Bahagian Buku Sastera, yang perlu menjadi \u201cpengarang kedua\u201d kepada pengarang, perlu menjadi \u201csi mata helang\u201d yang tajam.\nSelain pengarang yang menggarapkan idea dan pemilihan tepat untuk alur penulisannya, si mata helanglah yang berperanan besar untuk menambahkan nilai estetika pada penulisan pengarang.\nPengalaman yang dimiliki oleh setiap insan pasti berbeza-beza, dan tidak pernah sama dari aspek rasa melalui jiwa. Begitulah dalam bidang kerjaya, pengalaman yang luas membuatkan seseorang itu yakin untuk menuturkan kata-kata atau hujah, pandangan dan pendapat, penyampaian hikmah dan tunjuk ajar, dan kadangkala dianggap sebagai pakar rujuk untuk sesuatu perkara. Dalam hal yang berkait dalam bidang kerjaya \u201csi mata helang\u201d, cabarannya tertumpu pada pemaknaan idea sebenar yang disampaikan oleh pengarang. Di situlah terciptanya sebuah keberhasilan karya yang hebat sehingga diperkatakan sepanjang zaman. Seolah-olah karya itu hidup dengan wataknya yang tersendiri, walaupun pengarangnya telah berpindah ke alam abadi.\nDengan gaya bahasa yang tepat, cermat dan pengajaran yang mengandungi hikmat, sesebuah karya itu dapat berdiri sendiri yang serta-merta memberikan nilai kejayaan pada karya tersebut. Selain pengarang yang menggarapkan idea dan pemilihan tepat untuk alur penulisannya, si mata helanglah yang berperanan besar untuk menambahkan nilai estetika pada penulisan pengarang. Si mata helang bukanlah semata-mata seorang pengurus yang hanya bijak mengurus belanjawan, penyediaan laporan dan surat-menyurat, tetapi seorang pemikir yang wajar merentas dunia pemikiran pengarang, yang seolah-olah perlu berada pada tahap ataupun satu lapisan yang lebih tinggi dalam pembentukan idealisme dan intelektualisme daripada pengarang. Dia juga perlu menguasai pelbagai cabang ilmu bagi mengangkat martabatnya sesuai pada tempatnya.\nPersoalannya, siapakah si mata helang? Dia ialah editor. Ya, editor. Tugasnya membina judul baharu dan pengarang, mendapatkan karya terbaik daripada pengarang, serta menguruskan sesebuah manuskrip atau makalah sehingga terhasilnya sebuah buku atau majalah. Fungsi dan peranannya amatlah besar, bukan sekadar menguruskan sesebuah manuskrip atau majalah sehingga terbit karya pengarang tetapi dialah manusia pertama yang meletakkan \u201ckepercayaan\u201d bahawa karya itu bermanfaat untuk membangunkan pemikiran dan sahsiah insan, atau menjadi orang tengah dalam penyebaran ilmu buat para pembaca. Sekiranya nilai manfaat itu kurang dan naskhah itu cenderung pada titik keburukan, bukankah hal ini dipersoalkan di akhirat kelak? Begitu juga dengan para pengarang, nukilan penanya menjadi amal yang dipertanggungjawabkan pada hari kebangkitan.\nAda segelintir manusia yang tidak kenal akan dunia editorial beranggapan bahawa menguruskan manuskrip atau makalah sehingga terbit ialah kerja yang mudah dan hanya perlu suntingan bahasa atau ejaan semata-mata. Anggapan seperti itu sesuatu yang tidak berasas, dan mustahil begitu prosesnya. Sedangkan si mata helang sering waspada dalam dunianya, tidak pernah tenteram selagi tidak dapat diterbitkan. Begitu jugalah karya yang telah diterbitkan, dia tidak akan pernah tenteram seandainya naskhah yang ditangani itu masih ada kesalahan (ejaan atau fakta), atau tidak tepat pada pemilihan kata dan diksinya.\nApa-apa kejayaan hinggalah tercapainya kejayaan si mata helang bergantung pada sikap dan ikhlasnya. Tiada kayu ukur yang dapat menilai tahap ikhlas si mata helang melainkan diri mereka sendiri yang dapat menilainya. Perkataan yang sering didengar; \u201csekadar makan gaji\u201d, \u201casal jadi\u201d, \u201casal siap\u201d, memberikan bencana pada sebuah kerjaya. Dan \u201ckemusnahan\u201d itu bukan sekadar pada kerjaya tetapi terpalit pada hasil karya yang diusahakan.\nBagi si mata helang, karya yang ditangani seolah-olah dia menjaga wanita yang sarat mengandung, hinggalah saatnya wanita itu bersalin dan melahirkan cahaya mata. Si mata helanglah bertindak sebagai bidan, dialah yang menyambut bayi, memotong tali pusat, menguruskan bayi tersebut.\nDari awal penerimaan bahan, si mata helang akan menelitinya satu per satu. Bermula dengan sehelai kertas daripada pengirimnya, siapakah pengarangnya; manuskrip; bahan awalan dan bahan akhiran karya; dan sinopsis karya (sekiranya diberikan oleh pengarang untuk memudahkan si mata helang membuat semakan). Begitu juga beberapa dokumen yang perlu diisi oleh pengarang agar tidak ada implikasi undang-undang setelah karya tersebut berjaya diterbitkan. Setelah itu, sekiranya tidak memenuhi spesifikasi atau kriteria penulisan, perlu dipulangkan semula kepada pengarang untuk proses penambahbaikan. Dan, proses penambahbaikan perlulah dinyatakan hal yang kurang dan hal yang perlu ditambah, atau seandainya tidak sesuai diterbitkan, nyatakan alasannya agar pengarang faham dan tahu bentuk penulisan yang baik sebagaimana yang diinginkan. Dengan harapan, pengarang terus berusaha memberi nafas baharu dalam karyanya, bukannya \u201cmembunuh\u201d kreativiti dan usaha pengarang.\nPada tingkat yang seterusnya ialah proses penilaian. Peringkat ini memerlukan tahap ilmu yang begitu luas bagi menilai secara keseluruhan kekuatan dan kelemahan karya pengarang. Bukan perkara yang mudah untuk memberi keputusan, sama ada \u201cmenolak karya\u201d atau \u201cmenerima karya\u201d. Ada dua kaedah yang boleh digunakan dalam proses penilaian. Pertama ialah si mata helang yang menilai sendiri berdasarkan tahap ilmu yang dimiliki. Kedua adalah dengan menyerahkan karya pengarang kepada panel penilai yang sesuai dalam bidangnya. Peringkat inilah sebenarnya saringan kedua sesebuah karya yang meletakkan si mata helang itu sebagai pemikir yang matang dan adil, bukan kerana nama pengarang \u201cbesar\u201d atau pengarang \u201ckecil\u201d, atau yang baru bertatih sebagai alasan untuk menerima karya atau menolak karya.\nSekiranya si mata helang itu kekurangan ilmu tentang genre atau bidang, maka tewas juga akhirnya sehingga diterima karya yang dianggap lemah untuk diterbitkan. Proses penilaian yang baik memungkinkan mudahnya hala tuju karya diproses tanpa ada lagi halangan dan rintangan. Kesannya, tidak ada lagi kenyataan atau rungutan si mata helang semasa proses suntingan.\n\u201cWalaupun karya kreatif, tapi fakta salah, sumber petikan pun tidak dimasukkan. Macam mana nak terbit?\u201d\nKegagalan pada peringkat inilah yang memberi kesan buruk pada tempoh masa yang ditetapkan bagi sesebuah karya pengarang untuk diterbitkan. Malah, emosi serta motivasi si mata helang juga berasa terganggu. Pada peringkat penilaian karya oleh si mata helang, karya yang perlu dibaiki wajarlah diserahkan kepada penulis untuk proses penambahbaikan, bukannya bersikap sunyi sepi tanpa mengambil peduli. Seorang pengarang yang berjiwa besar, biasanya menerima sebarang cadangan daripada si mata helang dengan hati terbuka dan berlapang dada.\n\u201cManuskrip ini lulus.\u201d Sepakat jawatankuasa yang bersidang. Kejayaan pertama diperoleh. Beralihlah kepada proses suntingan, buang sana, ganti sini, ubah sana, ubah sini. Apa yang tidak tepat perlu dibaiki. Apa yang kurang perlu ditambah. Apa yang dianggap \u201cmembazir\u201d perlulah dibuang sehingga ada kesan merah pada perisian Microsoft Word dengan penggunaan track changes. Pada peringkat ini pula ketelitian tertumpu pada bahasa, istilah, aksara, sumber fakta, dan gaya bahasa. Namun, perlu diakui, setiap pengarang mempunyai gaya penulisannya yang tersendiri, tidak akan sama alur dan lenggoknya.\nSi mata helang wajar juga menguasai gaya kepengarangan setiap pengarang agar tidak terdedah dengan pentafsiran yang salah. Misalnya, dalam karya kreatif, pengarang seperti Zaharah Nawawi, Adibah Amin, S.M. Zakir, dan Malim Ghozali PK (sekadar menyebut beberapa nama) adalah berbeza-beza gaya penulisannya. Biasanya, seorang peneliti dan pembaca karya pengarang tertentu akan kenal gaya penulisan setiap pengarang, tanpa perlu melihat nama penulis yang tercatat di hadapan buku. Ketelitian pada peringkat suntingan juga yang membawa si mata helang masuk ke dalam dunia pemikiran pengarang, dan kenal setiap identiti gaya kepengarangan setiap pengarang.\nKejayaan kedua si mata helang ialah karya yang ditanganinya berhasil diterbitkan. Ada yang memberi pandangan, mengapa perlu berbangga sedangkan nama pengarang di hadapan kulit buku, bukannya nama si mata helang. Bagi si mata helang, karya yang ditangani seolah-olah dia menjaga wanita yang sarat mengandung, hinggalah saatnya wanita itu bersalin dan melahirkan cahaya mata. Si mata helanglah bertindak sebagai bidan, dialah yang menyambut bayi, memotong tali pusat, menguruskan bayi tersebut. Begitulah naskhah yang terbit, yang diibaratkan seperti bayi. Munculnya daripada tiada kepada ada.\nAdakah si mata helang perlu banyak membaca dan meneliti naskhah sedia ada? Jawapannya ialah benar. Mustahil untuk si mata helang mampu menguasai ilmu suntingan yang baik sekiranya dia seorang yang malas membaca dan kurang meneliti karya pengarang lain. Penguasaan suntingan bukan sekadar pada tanda baca atau ejaan, tetapi bagaimana pintarnya si mata helang mengolah karya agar bahasanya tidak terbelit-belit dan mudah untuk dibaca dan difahami oleh pembaca. Pernah suatu ketika, si mata helang digelar sebagai \u201cpengurus tanda petik\u201d atau \u201cpengurus ejaan\u201d. Ertinya, kritikan itu yang mampu menyedarkan kekurangan si mata helang, dan mengambil kritikan itu sebagai satu dorongan untuk berubah ke arah yang lebih baik, sesuai dengan martabatnya, SI MATA HELANG!\nSebagai si mata helang, sesebuah karya yang diusahakan hingga terbit wajar didedahkan kepada masyarakat agar mereka tahu wujudnya naskhah bermutu dan mereka tahu di institusi si mata helang itu didiami oleh para intelektual yang pandai menyusun idea. Begitu juga pada masa kini, ada sesetengah syarikat penyiaran sedang mencari dan menggali khazanah karya untuk projek adaptasi, sama ada telefilem atau filem. Pasukan si mata helanglah yang perlu bersedia kerana mereka pemegang kunci idea setiap para pengarang, dan kesediaan ini mencorakkan satu suasana yang harmoni bagi kelangsungan pada masa akan datang.\n_________________________\nNor Muhamad Mat Zain atau Nur Muhamad Fansuri seorang pendaki gunung yang tegar dan amat intim dengan alam kehijauan fauna. Hasil makalah beliau pernah disiarkan dalam majalah Dewan Budaya dan Portal Gerbang Borneo. Beliau pernah menjadi editor di Bahagian Buku Sastera, Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan kini merupakan seorang pegawai di Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka." "Kesusasteraan Berkuasa Membina dan Meruntuhkan Realiti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Rosli K. Matari, ketika mengendalikan sambungan Bengkel Cerpen Hujung Minggu pada kali ini menegaskan perlunya para penulis agar menjadi manusia ensiklopedia, iaitu insan yang mempunyai ilmu dan berpengetahuan.\n\u201cCarilah ruang, dan bacalah apa-apa saja untuk menambah pengetahuan dan sebagai disiplin bantu. Kalau anda tidak genius, anda tidak boleh menjadi pengarang,\u201d tegasnya.\nKehebatan sastera yang mampu membina realiti yang dikatakan oleh Rosli terbukti apabila kisah manusia pertama naik ke bulan, terlebih dahulu ditulis dalam sebuah novel hasil daripada imaginasi penulis sastera.\nCerita yang dimaksudkan ialah The First Men in the Moon karangan H.G. Wells, yang pertama kali diterbitkan secara bersiri dalam majalah The Strand Magazine pada tahun 1900. Karya tersebut kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Abdul Karim bin Mohd. Shariff dengan judul Manusia yang Pertama Di-Bulan (Longman Persekutuan Tanah Melayu, 1963).\nSelepas itu, di alam realiti sebenar, barulah terhasilnya pencapaian manusia dalam penerokaan angkasa lepas melalui misi Apollo 11 apabila Neil Armstrong menjadi manusia pertama berjaya menjejakkan kaki ke bulan pada 20 Julai 1969, yang kemudian diingat dengan kata-katanya yang masyhur, \u201cSelangkah kecil bagi seorang manusia, selangkah yang besar untuk kemanusiaan.\u201d\nSesi yang berlangsung lebih dua jam ini, bermula pukul 9.00 malam pada 9 September 2021 yang turut diisi oleh penceramah dengan perkongsian \u201cmanfaat membaca kepada penulis\u201d. Rosli menyenaraikan 15 manfaat apabila seseorang penulis itu membaca.\nAntaranya ialah dapat mengisi masa lapang, menghibur hati, memperoleh kenikmatan, mengetahui tentang sesuatu perkara, memperkaya ilmu, meningkatkan keintelektualan, mempertajam sensitiviti dan imaginasi, mendinamikkan pemikiran kritis, memanfaatkan hasil bacaan, memperoleh teladan, menguasai kemahiran bahasa, menyumbang kembali pemikiran, amali kegeniusan, menjiwai kemanusiaan, dan terakhir, mampu menambah keterampilan EQ dan ESQ.\nKali ini, penceramah lebih banyak berinteraksi dengan para peserta melalui perkongsian pengalaman bahan bacaan masing-masing. Rosnani Ripin mengakui membaca merupakan satu terapi diri baginya. Manakala Tuan Siti Mastazameatun menyatakan sangat meminati sebuah karya tradisional berjudul Hikayat Gul Bakawali yang diulang bacanya berkali-kali. Baginya, teks sastera klasik tersebut sangat indah dan menakjubkan. Manakala Nik Mohd Hafiz pula menceritakan pengalamannya sendiri yang gemar membaca karya fiksyen sains. Menurut Rosli, antara penulis fiksyen sains Malaysia yang terkenal dan bagus untuk dibaca karyanya ialah Rahmat Haroun dan Ahmad Patria Abdullah.\nRosli juga menerangkan bahawa beliau tidak akan mengajar tentang plot, tema, watak dan unsur-unsur lain cerpen. Baginya, semua itu sudah ada dalam cerpen dan tidak perlu dipelajari untuk menghasilkan cerpen. Hal yang akan diperdalam lagi bagi beberapa siri ceramah seterusnya nanti ialah cara untuk menulis cerpen yang berkesan." "Penerbitan Indie Masih Berperanan dalam Ranah Sastera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPolemik ranah penerbitan tanah air yang berkomposisi daripada pelbagai bentuk dan warna boleh menyerlahkan sisi wacana yang hangat dan berselirat perjalanannya. Penerbitan indie, atau mengikut Sinaganaga Lan Benhussein, dipanggil penerbitan mandiri, juga tidak sepi suara wacananya.\nHal ini diangkat dalam Wacana Pena minggu ke-9 bertajuk \u00a0\u201cPenerbit Indie: Merosak atau Membina Sastera Negara?\u201d anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) pada 10 September 2021 (Jumaat), membariskan pengkritik sastera terkenal, Dr. Mana Sikana dan pereka/pemilik penerbitan indie Azalan Hussain (Sinaganaga Lan Benhussein). Dr. Mohamad Saleeh Rahamad turut sama sebagai panel tetap wacana, dengan Mohd Khair Ngadiron sebagai moderator perbincangan.\n\u201cSedikit sebanyak, penerbit indie menyumbang dalam prestasi perbukuan negara,\u201d menurut figura yang ranum dengan kegiatan menerbitkan naskhah indie, Azalan, setara dengan sasaran UNESCO untuk negara mengeluarkan sejumlah buku dalam setahun.\n\u201cBerdasarkan jumlah penduduk Malaysia, kita seharusnya menghasilkan 30 ribu judul setiap tahun,\u201c ujar beliau.\nPenerbit-penerbit baharu juga bercambah seperti cendawan dek fenomena penerbitan mandiri ini. Kata Azalan, berikutan ramai orang perbukuan yang makin terlibat dalam proses menerbitkan buku, maka semakin ramai juga para penulis yang dapat berkarya. Hasil pemerhatiannya juga, penulis lama dan baharu yang mendapat platform untuk berkarya juga menarik lebih ramai para pembaca dan peminat sastera. Hal itu sememangnya sesuatu yang tidak boleh dinafikan.\n\u201cNamun bagi saya, antara isu yang perlu diatasi ialah keupayaan untuk menembusi pasaran dan penulisan belia masa kini dan masa akan datang, supaya rumah penerbitan indie akan kekal hidup berjalan,\u201d tambah Azalan.\nFenomena indie yang bergerak menentang arus perdana merupakan satu kegiatan yang berlaku secara meluas namun masih memakan masa yang panjang untuk menunjukkan impaknya. Mana Sikana menyentuh fenomena sastera Indonesia yang semakin kaya dan meriah dengan karya mandiri yang berperanan penting dalam usaha mengembangkan kesusasteraan negara mereka.\nMengambil contoh penulis Islami Indonesia yang terkenal, Habiburrahman El Shirezy, beliau dulu juga menerbitkan buku secara mandiri dan kini karyanya sudah tidak pernah lagi dianggap \u201cindie\u201d atas peranan dan sumbangan karyanya kepada ranah sastera negara. Apabila melihat sumbangan karya-karya indie ini terhadap ranah sastera, pada akhir harinya, nilai dan peranan karya itulah yang memainkan peranan.\nMana Sikana juga berpandangan, kedudukan dunia pascamoden kini sudah meleraikan garisan pemisah antara \u201csastera rendah\u201d dengan \u201csastera tinggi\u201d. Katanya, \u201cTujuan pemahaman ini adalah untuk melihat nilai karyanya dahulu, tidak kiralah jika diterbitkan oleh rumah penerbitan indie mahupun perdana.\u201d\nBeliau menambah, fitrah indie yang tidak selalunya bersependapat dengan gagasan norma perdana juga merupakan satu pertembungan yang mempunyai peranannya yang tersendiri.\n\u201cKalau boleh, saya harapkan penerbitan sastera indie dan penerbitan sastera perdana ini mampu berjalan sejajar, tapi tidaklah bertemu secara langsung.\n\u201cPaling tidak pun, kedua-dua unsur karya ini boleh dan mampu untuk bekerja menaikkan sesama sendiri, kerana pertembungan dan interaksi antara kedua-dua pemikiran ini akan melahirkan gagasan yang tersendiri,\u201d ujarnya lagi.\nSaleeh Rahamad malah menegaskan, akan sentiasa ada ruang dan peluang untuk karya penerbitan indie dianalisis, dikaji dan diperbesar dalam wacana sastera. Beliau juga bersetuju dengan pendapat Mana bahawa sastera pascamoden yang menolak perbezaan antara sastera tinggi dengan sastera rendah menjadikan tugas pengkritik dan penelaah untuk melihat kesemua karya yang dihadapankan perlu dikaji, malah dipandang sebagai naratif penggerak dunia budaya sastera.\n\u201cPenerbitan indie perlu diteruskan dan dihidupkan, kerana hakikatnya penerbitan perdana juga tidak mampu menampung keperluan dan keupayaan penulis yang luas variasi pemikiran mereka.\n\u201cPenerbitan kecil ini mempunyai beberapa kelebihan, seperti mencapai khalayak pembaca yang merentas sempadan, boleh mencetak semula naskhah mengikut kehendak khalayak, dan menyediakan kandungan yang bernafas baharu, malah sebenarnya dari skop sejarah, penulis-penulis daripada penerbitan kecil juga berperanan menghidupkan ranah penulisan,\u201d jelas Saleeh.\nTonton wacana penuh di sini." "Keperluan Sastera Terhadap Teknologi Digital Kian Merapat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLawren Gara mendedahkan kehadiran teknologi digital yang makin diperlukan oleh sastera untuk meneruskan hayat perkembangan wahanaya.\nSeiring dengan perubahan zaman yang dipenuhi teknologi, kemungkinan besar bahan-bahan yang dianggap tradisional atau \u201clama\u201d akan dilupuskan dan beralih ke fasa baharu.\nPenulis terus-menerus lahir bagai cendawan tumbuh selepas hujan pada abad ke-21. Para penulis kini memasuki era Revolusi Perindustrian 4.0, atau mungkin hampir memasuki era hala tuju Masyarakat 5.0, seperti yang dibentangkan oleh Negara Matahari Terbit. Kerancakan teknologi dengan kemudahan kecerdasan buatan (artificial intelligence), aplikasi media dan robotik memajukan lagi industri kreatif di persada dunia.\nPerubahan teknologi saban hari ini tidak dapat dinafikan lagi. Lihat sahaja dengan perkenalan belian \u201c1-klik\u201d (1-click), iaitu istilah yang diperkenalkan oleh Amazon dalam usaha mempercepat pembelian dan urusan capaian produk secara dalam talian. Bukan sahaja istilah 1-click yang bergentayangan di minda anak-anak muda sekarang, malah mungkin \u201cteknologi baharu\u201d (new technology), iaitu kehadiran kelengkapan teknologi canggih yang menukar cara hidup kini, seperti ura-ura kehadiran prototaip kereta terbang ataupun kereta tanpa pemanduan manusia, yang sememangnya makin jelas bukan lagi sesuatu yang tidak mungkin berlaku pada era sekarang. Bukan lagi fiksyen sains semata-mata. Secara tuntasnya, teknologi ialah sesuatu yang sememangnya bersifat dinamik, inovatif, memenuhi ergonomik dan keperluan manusia, serta menjadi bual bicara masyarakat global.\nPerkembangan teknologi baharu dan semangat Masyarakat 5.0 Jepun juga turut berkait dengan bertambahnya pengguna internet di seluruh dunia, apatah lagi dengan kemunculan telefon pintar yang semakin pintar dan aplikasi media sosial yang terkini. Laman tinjauan global Statista sahaja melaporkan, pada tahun 2019 sudah terdapat 4.131 bilion pengguna internet di seluruh dunia, jika dibandingkan dengan 15 tahun yang lalu (1.1. bilion). Pada masa ini juga, negara China merupakan negara yang mempunyai penduduk celik internet yang tertinggi di dunia (854 juta). Hal ini lebih jelas dengan kecenderungan internet kini digunakan sebagai peranti untuk menonton televisyen/filem (seperti khidmat media over-the-top atau siaran digital seperti Netflix, Tonton, Amazon TV, Astro GO, dan Disney+), mendengar radio dan menonton berita (siaran langsung berita melalui media sosial seperti Twitter dan Facebook).\nSeiring dengan perubahan zaman yang dipenuhi teknologi, kemungkinan besar bahan-bahan yang dianggap tradisional atau \u201clama\u201d akan dilupuskan atau beralih ke fasa baharu. Kita perlu menyoal sekarang, adakah buku dan bahan berkala bercetak, yang sememangnya merupakan produk zaman-berzaman yang dipandang tinggi oleh tamadun kita demi memandaikan masyarakat awam, kini jatuh pada bahan yang dianggap tradisional atau lapuk? Sudah ada pula usikan orang yang nakal bahawa industri buku bercetak di Malaysia akan pupus dalam 10 tahun lagi. Atau lebih parah, pendedahan sangat menakutkan oleh Zainal Rashid Ahmad dalam Astro Awani bahawa rata-rata jualan buku di Malaysia sudah merudum teruk. Sebuah penerbit buku kecil malah menyatakan, \u201cSukar menerbitkan judul baharu kalau berbelas atau puluhan judul lama hanya terjual sekitar 500 ke 700 naskhah. Ribuan bakitanya berlambak dalam simpanan.\u201d\nDalam pada itu, bahan bercetak yang paling meruncing jangka hayatnya ialah majalah bercetak. Setelah internet dan media sosial mula menawan jiwa manusia seluruh dunia, ditambah pula dengan kemunculan majalah dalam talian, tinjauan menganggarkan, dalam 3.9 juta majalah bercetak yang diedarkan dari Amerika Syarikat pada tahun 2007, pada tahun 2018, hanya tinggal 1.8 juta naskhah majalah bercetak yang diedar ke seluruh negara.\nPendigitalan sastera memperlihatkan impak sumbangan yang paling jelas dalam dunia industri kreatif.\nDi Jepun, jumlah pembacanya masih mencapai tahap yang memuaskan. Negara Jepun ialah negara yang keempat paling banyak menerbitkan karya buku dengan jumlah 139 078 judul setahun secara purata. Daripada penerbitan tersebut, sebanyak 85 peratusnya merupakan jualan buku dan majalah bercetak dan 36 peratus lagi merupakan e-buku. Jika diukur daripada statistik yang diberikan, pembaca di Jepun lebih cenderung untuk mendapatkan buku secara fizikal.\nBuku terbaik yang dijual di Jepun sepanjang tahun 2017 dan 2018 ialah manga Kimitachi wa Doikiruka (How Do You Live?). Manga ini diadaptasi (oleh Shoichi Haga) daripada novel sastera klasik, yang juga menduduki carta teratas jualan di Jepun, dihasilkan oleh Genzaburo Yoshino. Buku kedua terbaik juga bergenre manga, iaitu Oyasan to Boku (Landlady and I). Jelas sekali, peranan sastera dalam masyarakat dan teknologi amat penting. Buku tersebut bukan sahaja diterbitkan dalam bentuk fikizal, malah turut diterbitkan dalam bentuk e-buku.\nDi Jepun, e-buku makin menangkap pasaran khalayak pembacanya kerana naskhah digitalnya mudah didapati, disimpan dan diakses. Sastera menjadi relevan kerana mampu menyumbang dalam ruangan permintaan tersebut. Oleh itu, pengisian sastera dalam teknologi amat penting bagi memberikan ruang menang-menang bagi kedua-dua pihak, pembaca dan pengkarya dalam pengenalan dunia e-buku. Di Malaysia sendiri, pengenalan sistem e-buku sudah sedikit sebanyak merubah landskap pembaca. Laman sesawang e-sentral\u00a0merupakan antara platform yang menyediakan khidmat jualan e-buku dalam pasaran tempatan.\nSelain e-buku, konsep \u201cpendigitalan sastera\u201d juga makin mendapat tempat di ruang awam masyarakat Malaysia. Pendigitalan sastera kini (yang sebenarnya sudah berlangsung lama, sedari internet sudah mula popular di Malaysia) menampilkan bahan sastera dalam bentuk digital, dipersembahkan dalam pelbagai media (teks, audio, visual, imej, audio-visual), sama ada dalam laman rasmi, blog, aplikasi media sosial, podcast, dan sebagainya.\nSastera yang bersifat prosa (baik cereka mahupun esei) dan puisi dapat dipersembahkan dalam bentuk audio (podcast), video, animasi, dan filem. Sememangnya, pendigitalan sastera amat menekankan tugas adaptasi, iaitu peralihan wahana (suatu bentuk medium kepada suatu bentuk medium yang lain). Secara tradisi, adaptasi tidaklah asing dalam dunia pengkaryaan kita. Filem Hang Tuah (1956) dan Langit Petang (1982) merupakan antara contoh filem adaptasi daripada dua medium teks yang berbeza. Siaran radio juga secara tradisi sudah menggunakan peralihan wahana teks sastera kepada audio, dengan terjelmanya beberapa rancangan siaran, seperti Bunga Bangsa, Ruangan Cerpen, Ilham Cipta, Dari Pendengar untuk Pendengar, dan beberapa lagi rancangan lain berkonsepkan sastera.\nAntara kekuatan pendigitalan sastera ialah, ia bersifat global. Karyanya selalu dapat diakses oleh semua tanpa batasan, maka dengan lebih banyak akses karya tersebut, lebih \u201cglobal\u201d karya tersebut. Lebih banyak karya tersebut diadaptasi (dalam pelbagai medium dan versi), lebih \u201cglobal\u201d karya tersebut. Karya Cinderella\u00a0(sebuah kisah dongeng yang berasal dari Mesir Purba secara lisan lalu ditulis di Itali pada tahun 1634) merupakan contoh tradisi yang menjadi kepunyaan semua budaya dan masyarakat kerana keberadaan globalnya dan menjadi pengetahuan semua.\nPendigitalan sastera memperlihatkan impak sumbangan yang paling jelas dalam dunia industri kreatif. Pengadaptasian sastera kepada filem (termasuk telefilem dan drama bersiri televisyen) menyebabkan tumbuhnya banyak bentuk produksi. Produksi ini pula melibatkan pelbagai orang, yang mempunyai kepakaran kraf tertentu, baik di belakang tabir (seperti tatarias, sinematografi, pencahayaan, busana, tatasuara, reka bentuk, penulis lakon layar, dsb.) mahupun di hadapan kamera (para pelakon). Semuanya tertumpu untuk menghasilkan \u201cproduk akhir\u201d.\nMisalnya, dalam penghasilan filem fiksyen sains Dune tulisan Frank Herbert baru-baru ini, produksinya tentu tidak akan memilih penulis yang semberono untuk menulis lakon layar. Penulis lakon layar akan dipilih berdasarkan pengalaman penulis melalui pembacaan, minat dan kedalaman penulis tentang novel atau subjek tersebut, dan pengalamannya tentu menuruti pemahaman dan isi hati pengarah. Filem seperti ini akan membuka ruang kepada individu yang berkecimpung dalam industri kreatif untuk membina lakon layar yang sempurna, agar filem tersebut dapat menyampaikan maklumat (dan jiwa) yang sama seperti yang disampaikan dalam karya sastera tersebut.\nAdaptasi dalam industri kreatif malah menyambung tempoh hayat sesebuah karya sastera. Lihat sahaja karya klasik Indonesia, Tenggelamnya Kapal van der Wijck (1938) yang ditulis oleh tokoh sasterawan Indonesia yang terkenal, Hamka yang kerap kali diadaptasi. Novel ini menjadi tumpuan dan rujukan masyarakat, dan banyak kali diadaptasi ke dalam bentuk teater, sketsa dan filem. Filem versi terbaharunya (arahan Sunil Soraya, lakon layar oleh Imam Tantowi dan Donny Dhirgantoro) pada tahun 2013 pernah mendapat penghargaan Piala Antemas sebagai filem paling laris di Indonesia. Selain itu, novel ini pernah diteaterkan pada tahun 2016 di Universiti Malaya oleh persatuan Bahasa Arab Universiti Malaya (BAUM). Pada tahun 2017 pula, sebuah acara yang dinamakan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, turut diadakan di panggung eksperimen di Universiti Malaya. Pada tahun 2019, novel ini sekali lagi dijadikan bahan untuk menarik perhatian pelajar, khususnya ketika Festival Indonesia diadakan di Universiti Malaya. Acara The Tragedy of Van Der Wijck ini yang diadakan pada 16 November 2019 berlangsung di Dewan Gemilang Kolej Kediaman Kedua Belas, Universiti Malaya. Pementasan ini melibatkan golongan profesional untuk mengolah skrip, meringkaskan jalan cerita dan pemilihan pelakon-pelakon pentas untuk menghidupkan semua watak dalam novel di atas pentas. Dengan adanya pengaplikasian teknologi, pementasan ini kemudiannya disiarkan secara langsung dalam media sosial.\nPada abad ke-21, masyarakat memperlihatkan daya kreatifnya masing-masing dalam pelbagai media saluran. Antara yang paling popular digunakan sekarang ialah media sosial. Di China, media yang paling popular ialah Douyin, atau lebih dikenali sebagai aplikasi Tik Tok. Aplikasi Tik Tok merupakan aplikasi yang terbesar di seluruh dunia. Aplikasi ini dengan sekelip mata memintas aplikasi Facebook dan Instagram pada era pandemik dengan hanya beberapa bulan sahaja, iaitu dengan peningkatan 800 juta pengguna yang aktif serta sebanyak dua bilion memuat turun aplikasi ini di GoogleApps dan AppStore, malah aplikasi Tik Tok merupakan aplikasi yang paling banyak dimuat turun dalam AppStore. Pintasan ini bukan sahaja menyebabkan beberapa negara yang berpopulasi tinggi menyekat aplikasi Tik Tok kerana hal keselamatan data peribadi dan privasi. Namun begitu di Malaysia, aplikasi ini malah disyorkan oleh Menteri Pengajian Tinggi pada tahun 2020. Menariknya, aplikasi Tik Tok dengan tanda pagar #literature menunjukkan lebih daripada 98.5 juta pengguna telah menggunakan aplikasi ini untuk tujuan sastera dan penulisan akademik. Penulis blog juga semakin ramai beralih kepada aplikasi ini, sama ada untuk mempamerkan bakat yang terpendam atau mendedahkan hal-hal sastera kepada khalayak ramai.\nRingkasnya, penjalinan usahasama sastera dengan teknologi dan industri kreatif tidak mampu ditolak lagi. Kini, sastera, teknologi dan industri kreatif saling bergantung antara satu sama lain dalam usaha untuk memenuhi kehendak dan perubahan sosial manusia. Dalam hal ini, sastera dalam jalinan dan penyesuaian teknologi tetap mampu memberikan idea dan renungan untuk hidangan pemikiran masyarakat zaman sekarang. Sastera juga masih diperlukan sebagai bahan kandungan pilihan terbaik yang mampu membuka ruang industri kreatif untuk terus berkembang dalam peredaran zaman.\nSesungguhnya, fenomena jalinan sastera-teknologi ini menunjukkan betapa keterikatan sastera dengan teknologi akan menjadi lebih kuat. Namun persoalannya, adakah kita bersedia untuk menerima bentuk-bentuk sastera yang baharu sebagai juzuk estetika dan penghayatan sastera Malaysia?\n_________________________\nLawren Gara berasal dari Sarawak. Beliau merupakan pelajar sastera dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dan kini sedang menjalani program pertukaran pelajar di Universiti Sejong, Korea Selatan." "Merungkai Kecelaruan Idea antara Penulisan Kisah Benar dengan Cerpen\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPenulis pemula sering kali menghadapi masalah untuk menyusun dan mengolah idea daripada kisah yang mahu diangkat dalam penulisannya. Kesukaran ini berlaku disebabkan oleh kurangnya pengetahuan mengenal pasti bentuk penulisan yang mahu diterokainya. Kerja menulis mempunyai aturan dan tertibnya yang tertentu, tertakluk pada jenis penulisan. Apabila penulis kurang memahami jenis-jenis penulisan, penulisan akan jadi kurang berkesan dan hal ini amat merugikan.\nMenyedari hakikat ini, siaran Secangkir Kopi Jam Sepuluh musim keempat dalam episod empat berusaha untuk memberikan pencerahan. Dengan judul \u201cMahu Tulis Kisah Benar atau Cerpen?\u201d, perbincangan dimulakan dengan sesi perkongsian pengalaman penulis, Azian Mohamed Isa yang terlibat dalam beberapa projek penulisan antologi kisah benar yang dibimbing oleh penulis buku motivasi laris, Bonda Nor.\n\u201cSetiap projek penulisan mempunyai tema tersendiri untuk menjadi pedoman dan panduan kepada kumpulan penulis yang terlibat. Kami dibimbing untuk mengolah kisah berdasarkan tema dan mesej yang mahu disampaikan,\u201d jelas Azian.\nHal ini disokong oleh Rozninah Abd. Azib, mantan editor Dewan Sastera yang turut mengikuti bengkel kisah hidup bimbingan Sri Diah, penulis terkenal tanah air. Menerusi tema mengenang jasa ayah dan ibu, penulis dapat memilih sebahagian kisah hidup yang merakamkan kenangan tersebut dan dituliskan kisahnya mengikut aturan dan tertib yang betul.\nMenurut Rozninah, terdapat tujuh panduan menulis kisah benar. Pertama, penulis sudah bersedia untuk berkongsi kisahnya. Hal ini amat penting kerana kisah benar penulis bukan lagi milik peribadi, malah sudah menjadi tatapan umum. Penulis sudah mengetepikan perasaan malu, sedih dan sebal apabila mahu berkongsi kisah benarnya kepada khalayak.\nPenulis juga tidak dipengaruhi oleh anasir kurang baik, seperti mahu membalas dendam atau memalukan watak yang diceritakan dalam kisah benar tersebut. Tujuan penulis adalah untuk berkongsi iktibar semata-mata dan hal ini merupakan panduan yang kedua.\nPanduan yang ketiga, apabila menuliskan kisah benar itu, ia perlu terbit dari hati. Rozninah menjelaskan, penulisan dari hati akan sampai ke hati pembaca. Penulisan sebenarnya mewakili suara hati penulis yang terpendam. Penulis mungkin mahu merawat kesedihan dan kedukaannya lalu menjadikan penulisan kisah benar sebagai terapi diri.\nPanduan yang keempat ialah penulisan kisah benar mesti bebas daripada kandungan yang boleh membawa penulis dikenakan tindakan undang-undang, seperti disaman. Rozninah mengambil contoh novel tulisannya, Sekali Melangkah berdasarkan kisah benar. Namun, terdapat sebahagiannya yang bersifat peribadi dan tidak perlu untuk ditonjolkan dalam penceritaan. Penulis perlu cermat dan berhati-hati agar jangan sampai membuka aib diri sendiri dan watak yang diceritakan sehingga menimbulkan fitnah dan tindakan mahkamah.\nPenulisan yang baik dan berkesan sudah tentu mempunyai alur cerita yang mengalir dengan baik, dari permulaan hingga akhir cerita. Dalam usaha menulis kisah benar, plot cerita perlu kemas. Sekalipun penceritaan melibatkan data dan fakta, penulis perlu bijak menggarap maklumat dan mengolah idea dengan memasukkan unsur dramatik dan saspens. Inilah yang dijelaskan dalam panduan yang kelima untuk penulisan kisah benar.\nHal ini juga turut mendapat perhatian Nisah Haron yang mendapati kebanyakan penulis pemula bimbingannya dalam bengkel-bengkel penulisan kreatif sering terperangkap dengan kisah yang mahu diolah. Apabila beliau mencadangkan untuk mengubah jalan cerita, peserta keberatan kerana hal ini dianggap akan menukar seluruh jalan cerita. Oleh sebab itu, beliau dengan tegas akan menyoal, \u201cSekarang ini mahu tulis kisah benar atau cerpen?\u201d\nPanduan yang keenam dan ketujuh untuk penulis yang mahu meneroka penulisan kisah benar ialah penulis tidak boleh mengada-adakan watak atau menambahkan watak dalam kisah yang mahu dibawa. Penulisan kisah benar berdasarkan fakta sebenar yang dirakam pada masa dan tempat yang sahih. Maka, rakaman tempat dan masa juga harus benar dan bukan rekaan. Penulis perlu bertanggungjawab dengan penulisannya. Memilih untuk mengada-adakan cerita dengan tujuan untuk menyedapkan cerita ialah amalan yang tidak berintegriti.\nPenulisan yang baik dan berkesan bermula dengan tujuan yang jelas. Penulis yang baik akan mencermati penulisannya dengan aturan dan tertib yang digariskan. Muatan cerita yang dibawa juga sarat dengan mesej dan iktibar yang baik untuk pembaca. Cerita yang patuh konvensi namun tiada isi pula akan hilang maknanya. Begitu juga halnya apabila kita terlalu celaru dengan idea, penulisan akan jadi merapu, pembaca akan terkeliru dan hal ini amat merugikan.\nUntuk menonton episod \u201cMahu Tulis Kisah Benar atau Cerpen?\u201d boleh tekan pautan ini.\nPelayar juga boleh terus ke halaman Secangkir Kopi Jam Sepuluh di Facebook untuk menonton episod terdahulu." "Kelestarian Bahasa Melayu dalam Pengurusan Perniagaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGelugor, Pulau Pinang \u2013 Program Syarahan Perdana yang bertajuk \u201cKelestarian Bahasa Melayu dalam Pengurusan Perniagaan: Membugar Paradigma\u201d telah diadakan pada hari ini di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM). Program ini dianjurkan oleh Unit Pemartabatan Pengantarabangsaan Bahasa Melayu, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka.\u00a0\nTokoh Akademik Bahasa Melayu 2021, iaitu Profesor Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul yang juga merupakan Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB), Universiti Kebangsaan Malaysia, telah diundang untuk menyampaikan syarahan perdana ini.\nMelalui program ini, para peserta didedahkan kepada pengenalan bahasa Melayu, kehebatan bahasa Melayu dalam pengurusan perniagaan, cabaran memartabatkan bahasa Melayu, usaha memartabatkan bahasa Melayu, kelestarian bahasa Melayu dalam pengurusan dan peribahasa Melayu merentasi zaman.\n\u201cBahasa merupakan khazanah bernilai tinggi yang perlu diperkasakan oleh setiap individu tanpa mengira ras dan agama selagi bergelar warga sesebuah negara,\u201d pesan Profesor Dr. Zafir Khan.\nTambah beliau, bahasa dan kehidupan adalah satu. Seseorang yang cuba mengabaikan bahasanya samalah seperti mengabaikan nilai dan budaya hidup, jati diri serta masyarakatnya. Kata-kata beliau tersebut menyerlahkan peranan utama bahasa dalam menyatupadukan masyarakat pelbagai bangsa yang boleh diteroka melalui perkongsian pemikiran, pandangan semesta dan budaya berteraskan identiti kebangsaan negara.\nKekuatan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pengurusan perniagaan tidak perlu dipertikaikan lagi. Sejak lebih dari satu alaf yang lalu, bahasa Melayu\u00a0 telah dimartabatkan sebagai bahasa utama dalam bidang ekonomi dan perniagaan. Dari segi sejarah, bahasa Melayu terbukti berjaya sebagai lingua franca sejak zaman-berzaman. Namun begitu, realiti pada hari ini menunjukkan bahawa sejarah kegemilangan bahasa Melayu dalam urusan ekonomi dan perniagaan semakin terpinggir.\n\u201cBerikutan perubahan landskap ekonomi dan cabaran globalisasi, kedudukan bahasa Inggeris di Malaysia semakin kuat dan sedikit banyak mempengaruhi kedudukan bahasa Melayu\u201c, kata Profesor Dr. Zafir ketika menerangkan situasi bahasa Melayu. Hal juga berlaku disebabkan oleh pembudayaan yang mendalam melalui sistem pendidikan, tempoh penjajahan negara yang panjang, dan kemasukan bidang moden yang diasaskan oleh tamadun Barat.\nPersoalan tentang kebenaran bahawa bahasa Melayu tidak boleh digunakan, terutamanya dalam bidang pengurusan perniagaan, dan hanya bahasa Inggeris yang mampu memajukan bangsa dan negara Malaysia telah dinafikan oleh Profesor Dr. Zafir. Hal ini dikatakan demikian kerana\u00a0negara di sebelah Timur, seperti China, Jepun dan Korea Selatan, masih mampu berjaya menguasai ekonomi dan perniagaan serta menghasilkan teknologi yang inovatif, kreatif dan saintifik melalui bahasa ibunda masing-masing. Oleh sebab itu, tidak mustahil sekiranya kegemilangan bahasa Melayu boleh dikembalikan. Sistem pendidikan merupakan jawapan bagi segala persoalan ini serta merupakan ejen penting dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.\nMenurut beliau, aspek pengurusan juga dilihat mampu terus berkembang melalui penguasaan bahasa Melayu. Beberapa aspek dalam membuat keputusan dan pengurusan berkesan pula dapat dicapai melalui pemahaman yang mendalam terhadap peribahasa Melayu. Peribahasa Melayu dapat mengungkap pelbagai isu yang berlaku dalam kehidupan individu, interaksi kumpulan dan sistem organisasi.\nRingkasnya, peribahasa Melayu telah lama terkehadapan dalam aspek pengurusan perniagaan. Penggunaan peribahasa Melayu dalam memerihalkan isu pengurusan menunjukkan rasa kebertanggungjawaban untuk mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu sebagai khazanah ilmu bernilai tinggi. Penghayatan terhadap peribahasa yang terkandung dalam syarahan umum kebangsaan ini menunjukkan bahawa adat lama yang ampuh tetap dipegang dan tidak akan dilupakan." "Mencari Keikhlasan Deklamasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTaksu Zacharia menulis tentang erti keikhlasan dalam deklamasi, khususnya setelah bersurainya Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan tahun ini.\nPengalaman Azmi menjadi contoh bahawa perjuangan mencari kebenaran rasa ikhlas dalam deklamasi bukan perjalanan yang mudah. Inilah manikam pengalaman yang tidak dapat dijual beli.\nBismillahirrahmanirrahim.\nSaya rafakkan doa ke hadrat Ilahi memohon agar segala yang akan diperkatakan lewat tulisan ini dipelihara daripada segala keburukan niat dan akan memberikan manfaat kepada yang membaca, terutamanya kepada para peserta Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan (SPDHK) siri ke-35, dalam usaha mereka untuk merangkul kejohanan berprestij itu.\nDengan kerendahan hati saya mulakan. Insya-Allah.\nSaban tahun apabila tiba Ogos, akan berkumandanglah genderang sayembara di serata pelosok negara. Dari Perlis hinggalah ke Sabah, pencak deklamator (seperti itulah istilahnya) bisa menyajikan kepada kita pelbagai ragam dan kerenah persediaan para deklamator atau pendeklamasi. Kembara jiwa ini bermula pada peringkat negeri dahulu, sebelum menjengah gelanggang prestij SPDHK.\nKitaran SPDHK terus berjalan sejak tahun 1987, johan baharu dinobatkan setiap tahun dan sejurus itu, bermula pula perjuangan yang lain demi memburu martabat tertinggi seni deklamasi itu. Kini, SPDHK memasuki siri ke-35 dan persaingan tidak pernah surut airnya, malah bertambah pasang sengit. Apatah lagi dengan adanya medsos (media sosial)! Medsos menganjak lagi persaingan ini ke tahap yang lebih runcing.\nSering kali yang menarik ialah pertembungan antara deklamator baharu dengan barisan otai; underdog lawan favourite. Setiap tahun pasti akan berlaku; underdog yang akan melakukan upset menumbangkan nama-nama besar dan tidak kurang otai yang lived up to the expectation untuk muncul juara. Apabila selesai sayembara di setiap negeri dan sudah diketahui peserta yang akan bersaing seterusnya, maka perang sebenarnya pun bermula.\nPada peringkat kebangsaan, setiap deklamator mempunyai kekuatan yang hampir sama baik dari segi mutu vokal, nada tepat, artikulasi kemas, penghayatan tuntas, gaya bernas, dan akhirnya sebuah kesempurnaan deklamasi yang dicari-cari.\nSedang deklamasi yang gagal; terlupa bait atau rangkap, tertukar atau tertinggal perkataan, tersadung di tengah penyampaian, terkurang intensiti atau gangguan-gangguan lain yang tidak dapat dielakkan, pasti akan meruntuhkan peluang deklamatornya untuk mengimpikan kejuaraan. Maka, ada yang mengeluh, tidak kurang meruntun dan ada pula sampai menangis.\nJusteru, apakah itu deklamasi yang \u201csempurna\u201d?\nSeorang yang bergelar Johan Kebangsaan (JK) itu pada dasarnya, deklamasinya \u201csempurna\u201d. Seperti deklamasi sajak \u201cTok Janggut\u201d karya Rahimiddin Zahari oleh Shukri Abdullah (JK 1996) merupakan satu penemuan yang luar biasa. Deklamasi itu menjadi bualan hangat zaman-berzaman, dan dijadikan contoh sebuah deklamasi yang \u201csempurna\u201d. Seperti juga deklamasi \u201cNyanyian Pembebasan Perahu\u201d karya Badaruddin MZ oleh Nurzailani Nuzi (JK 1998) yang disifatkan sebagai pemecahan tuntas deklamatornya terhadap sari paling dalam puisi unik itu. Jadi, kesempurnaan itu melihat kepada kesesuaian dan ketepatan deklamasi pada puisi yang mencakup tiga elemen:\nSaya berpeluang menikmati deklamasi Nurzailani dalam satu majlis sekitar tahun 2020 di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor. Itulah kali kedua saya berpeluang mendengar deklamasi \u201cNyanyian Pembebasan Perahu\u201d, selepas pertama kali pada tahun 1998 di Pulau Pinang. Ternyata, deklamasinya masih mengekalkan momentum rasa yang intense, biarpun memasuki dimensi berbeza daripada sebelumnya.\nMendengar bait demi bait yang diungkapkan. Sang deklamator perlahan-lahan membawa kita ke dalam sari puisi sehingga kita seperti terus terlekat padanya dan akhirnya terpesona. Saya fikir itulah objektif utama deklamasi, iaitu menyampaikan rasa, rasa puisi yang bersulamkan sesuatu yang mengagumkan!\nVokal, artikulasi, intonasi, penghayatan, kelancaran dan gaya persembahan hanyalah instrumen mental (juga: teknik dan kemahiran) untuk menyampaikan puisi kepada khalayak. Menjadi cabaran deklamator untuk mempertajam alat-alat ini bagi mempersiap diri untuk berdiri sebagai deklamator. Begitu juga aspek fizikal deklamator yang harus tampil bergaya kemas, terampil dengan sikap tubuh yang berwibawa. Hal ini pun perlu diberikan perhatian khusus apabila bersaing.\nNamun, setelah siap segalanya itu, maka hal yang paling sulit adalah untuk memperoleh hal yang dianggap sebagai faktor memukau, hal mempesona yang merupakan sesuatu yang intangible (elemen spiritual) atau sublime (mengagumkan) sifatnya, iaitu:\nYa. Benar. Keikhlasanlah yang akan membawa sari puisi itu membekas ke dalam hati khalayak. Keikhlasanlah unsur kekaguman yang perlu dicari. Saya percaya pada hal itu.\nSulit untuk mencapai tahap itu sebenarnya. Kerana sifat deklamasi itu \u201csekali bererti, lepas itu mati\u201d. Bacaan (baca: deklamasi) pertama tidak semestinya sama dengan bacaan kedua.\nSaudara Azmi Ismail (JK 2012) bergelumang selama 22 tahun dalam pencariannya akan sebuah deklamasi seumpama itu. Rekod paling lama yang dipegangnya benar-benar mengajarnya erti keikhlasan apabila berdeklamasi. Pengalaman roller-coaster prestasi, kekecewaan demi kekecewaan, kecaman demi kecaman, ditertawa serta diperlekeh saban penyertaan begitu benar mencengkam beliau.\nKesabarannya diuji, ketabahannya diperli setiap tahun. Namun akhirnya, Azmi sampai juga pada logos itu. Pada tahun 2012, beliau berdeklamasi bukan untuk menang tetapi hanya menyampaikan puisi dengan seikhlas hati dan perasaannya. \u2018Tiada yang menang dan tiada yang kalah, semuanya menang dan semuanya kalah. Yang ada hanya puisi dan deklamasi,\u2019 bisik hati kecil, berdamai dengan diri.\nPengalaman Azmi menjadi contoh bahawa perjuangan mencari kebenaran rasa ikhlas dalam deklamasi bukan perjalanan yang mudah. Inilah manikam pengalaman yang tidak dapat dijual beli.\nBahasa badan tidak pernah berdusta jika yang dipancarkan sebenarnya puisi yang bersalut kesombongan dan bukan keikhlasan.\nSering pula ada yang berkata, \u201cDeklamasinya sampai, deklamasinya membuat aku merinding, deklamasinya menjadi, deklamasinya ada rasa.\u201d Ya, bagi saya, segala persoalan itu merupakan cabaran yang tidak diendahkan oleh sebahagian besar deklamator hanya kerana terlalu mengejar perlumbaan kejuaraan.\nKejuaraan itu menjadi faktor utama tapi bukan sari puisi yang dibawanya. Pernah seseorang bertanya kepada saya, \u201cBang, mengapa saya kalah?\u201d Lama juga saya terdiam memikirkan akan kewajaran untuk menjawab, khuatir dia akan berkecil hati. Namun saya bersangka baik dan inilah jawapan pendek saya:\n\u201cKerana kau sombong!\u201d\nDia mengerut dahinya, tanda tidak mengerti (ataupun tidak setuju). Lanjutnya penerangan saya begini, \u201cSemestinya, seorang juara mempunyai satu pegangan tersendiri terhadap pencapaiannya, lantas dia sudah mula membangunkan kemegahan seorang Juara Negeri. Kemegahan inilah yang dibawanya sebagai modal bersaing. Hal ini seperti persaingan seekor singa dengan seekor singa yang lain, masing-masing akan menunjukkan kekuatan dengan bahasa badan dan ngauman paling berderai. Selalu yang kuat kudrat itulah yang akan menang.\u201d\nSering saya melihat persaingan SPDHK menjadi seperti itu. Sebuah medan perang psikologi!\nSang deklamator pun berdiri di pentas kebangsaan dengan segala kemegahan dan kesombongan (biarpun sehalus mana pun). Akibat terlalu terbawa akan persaingan, maka sikap tidak mahu kalah bulu atau tidak cuak pun harus ada. Maka, pancaran batinnya memberikan kemegahan dan kesombongan itu yang telah menyerap dalam diri, menelan kemurnian puisi yang hendak disampaikan.\nBahasa badan tidak pernah berdusta jika yang dipancarkan sebenarnya puisi yang bersalut kesombongan dan bukan keikhlasan. Maka pada akhirnya, butiran yang disampaikan ialah rasa yang kosong, sekadar deklamasi tanpa jiwa dan persembahan yang kurang berasa. Puisinya pun hilang.\nKerana yang dideklamasikan ialah kesombongannya .\nKerana yang dideklamasikan ialah kebanggaannya .\nKerana yang dideklamasikan ialah keangkuhannya .\nBukan puisi!\nKeikhlasan ialah kualiti abstrak yang membangunkan puncak-puncak keindahan pada deklamasi. Imejan yang sebelum ini hanya wujud di wilayah kata-kata, bagi sang deklamator, akan cuba dijelmakan rupa dan pesonanya kepada khalayak.\nMenjelmalah kata-kata mencipta formasi kekaguman! Hal itu menuntut pengerjaan seni yang penuh rasa bertanggungjawab; memanfaatkan segala peralatan yang ada dengan tahap keikhlasan yang tidak korup oleh unsur kebejatan hati dan perasaan, akan akhirnya menancap kepuasan sebagai rasa terakhir yang cuba dicapai dan disampaikan.\nKatarsis!\nMungkin. Mungkin pada awalnya duduk perkara ini tidak kita peduli. Namun, tanyalah pada Maarof Seman (JK 1997), Aflieza Arshad (JK 2003), Hasnida AB Gani (JK 2002), Amaruszati Noor Rahim (JK 2003), Siti Nur Zafran Zainal Abidin (JK 2018), juga Mohd Aqi Mohd Azmi (JK2020); pasti mereka akan mengiakan \u2013 keikhlasan dalam deklamasi itu ialah segala-galanya.\nDan begitulah \u201ckaedah\u201d Ainun Syakirah Suzaide (JK 2019) menjuarai SPDHK siri ke-33.\nSebagai deklamator \u201canak sekolah\u201d, dia tidak punya apa-apa. Berbekalkan ilmu yang sama seperti deklamator lain, sang gurunya menyedari akan kelebihan Ainun ini. Di atas kertas, segala-galanya tidak memihak kepadanya kerana dia adalah sementah-mentahnya seorang deklamator; masih di Tingkatan Enam dan baru berusia 19 tahun. Itulah penyertaan pertama SPDHKnya, malah Ainun tidak tersenarai pun dalam pesaing utama tahun itu!\nNamun apabila beraksi di pentas akhir, unsur yang menakjubkan itu pun keluar perlahan demi perlahan, memukau hadirin. Dengan rasa keikhlasan tinggi, beliau mengungkap bait demi bait puisinya dengan ketulenan makna dan gerak yang unik, biarpun suaranya tidak sebesar mana tetapi masih mampu memberikan getar nada yang menggugah bukan saja hadirin, tetapi paling penting panel penilai.\nBagi Ainun, keikhlasanlah cengkaman wow yang telah memenangkannya.\nDari segi lain, barangkali setiap kali diumumkan sebagai Johan Kebangsaan, mereka (para JK) pasti tidak menyangka kerana merasakan ada nama lain yang lebih layak; dia yang punya vokal guruh, dia yang punya intonasi menggugah, dia yang punya penghayatan tajam, dia yang punya gaya memukau sedangkan yang menang seperti tidak punyai apa-apa.\nNamun, ramai jarang mahu memikirkan bahawa kekuatan sebenar bersumber daripada peribadi (adab dan akhlak) yang murni, yang menolak segala kemungkinan untuk mencari kemasyhuran (cinta dunia), meletakkan segala-galanya pada ketentuan dan keredaan Ilahi, dan berasa bersyukur dengan segala nikmat yang diberi oleh Penciptanya.\nLeburkan keakuanmu\nSisihkan kehebatanmu.\nHancurkan keegoanmu.\nNyahkan kesombonganmu.\nKeikhlasan itu ada dalam diri.\nKeikhlasan itu ilmu paling tinggi\nIa senjata hati, senjata deklamasi.\nProses untuk memaknakan nuansa puisi dan deklamasi boleh menjadi pelajaran kemanusiaan jika dilaksanakan dengan niat yang benar. Kemenangan bukanlah segala-galanya. Kemenangan hanyalah bonus kecil. Namun, kemenangan yang lebih besar adalah dengan memastikan deklamasi puisi menjadi wadah memanusiakan manusia.\nAkhir kata, jika ada kekurangan dalam tulisan ini, saya mohon maaf dan mohon diperbetulkan. Niat saya hanyalah ingin berkongsi pengalaman agar boleh menjadi peneman fikiran kala kebuntuan ilham mencari-cari nuansa deklamasi. Yang baik adalah kerana izin Allah SWT dan yang buruk adalah daripada kelemahan diri sendiri.\n_________________________\nTaksu Zacharia merupakan seorang ahli Kelab Penyair dan deklamator kebangsaan." "Perutusan Surat Diplomatik Bukti Hubungan Turki Uthmaniyah dengan Alam Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Hubungan antara Turki Uthmaniyah dengan kesultanan Melayu di Nusantara telah bermula pada awal abad ke-16 lagi. Perhubungan yang terbina ini bukan sahaja disebabkan oleh kepentingan politik, ekonomi dan pentadbiran semata-mata, bahkan berkait rapat dengan ukhuwah dan semangat persaudaraan sesama Islam.\n\u201cI\u2019layu Kalimatullah (menegakkan kalimah La Ila Ha Illa Allah), sifat ummatik dan memerintah secara adil merupakan tujuan utama terbinanya hubungan antara kerajaan Turki Uthmaniyah dengan raja-raja Melayu di Nusantara. Tidak ada tujuan lain selain menyampaikan ajaran Islam dan meninggikan nama Allah SWT. Keadilan pula adalah untuk membantu kerajaan-kerajaan Islam di Nusantara yang dizalimi oleh negara-negara Barat,\u201d jelas Ustaz Sadik Ozata.\nTambah Ustaz Sadik, \u201cSurat yang diutuskan oleh Sultan Kedah, iaitu Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah bertarikh 1824 Masihi, meminta bantuan daripada Sultan Mahmud II. Di dalam surat itu, dijelaskan bahawa ketika Sultan Kedah berada di luar kawasan Kedah, wilayah di Kedah menerima serangan dari Mecus (Siam). Yang akhirnya membuatnya terpaksa lari ke Fulufinan (Pulau Pinang) yang sekarang disewakan daripada ayahnya Sultan kepada British. Di samping itu, pada akhir surat juga dijelaskan, dahulu Sultan Uthmaniyah pernah memberikan bantuan ketenteraan dalam pembukaan Kedah.\u201d\nSelain surat utusan Sultan Kedah, terdapat juga surat yang bertarikh 20 April 1850, daripada utusan Sultan Mansur Syah Aceh, Muhammad Gus kepada Sultan Abdul Majid untuk meminta bantuan kapal.\n\u201cDalam surat tersebut, tercatat bahawa ketika Sinan Pasha mengunjungi Aceh, beliau datang bersama-sama kapal-kapal besar dan mengajar mereka cara membuat meriam dan senapang. Dalam proses ini, banyak meriam dan senapang dihasilkan oleh tentera Uthmaniyah sehingga mereka dapat mempertahankan diri daripada Belanda.\u201d\n\u201cSemasa lawatan Sinan Pasha, Sultan Aceh sangat menghormati delegasi Uthmaniyah dan melihat setiap perkataan Sinan Pasha sebagai pemerintah Uthmaniyah yang harus dipenuhi. Keadaan ini penting dari segi menunjukkan kesetiaan Sultan Aceh kepada kerajaan Uthmaniyah. Nama Sultan Selim II dan Sultan Aceh ditulis di meriam dan senapang. Dengan ziarah Sinan Pasha dan bantuan ini menunjukkan para Muslim di kepulauan ini ada ikatan dengan Khalifah Uthmaniyah,\u201d terang Sadik.\nYang berbahagia Ustaz Sadik Ozata merupakan wakil Turki bagi Hayrat Malaysia, yang membentangkan kajiannya berjudul \u201cJejak Turki Uthmani di Nusantara dan Hubungannya dengan Kesultanan Melayu\u201d dalam Diskusi Manuskrip Melayu ke-5 pada 15 September 2021. Program ini merupakan kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka dengan Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.\nObjektif diskusi ini adalah untuk mengetengahkan hasil-hasil penyelidikan dan penerbitan baharu yang berkaitan dengan manuskrip. Selain itu, diskusi ini bertujuan untuk mengangkat ilmu Alam Melayu berdasarkan naskhah-naskhah Melayu yang berada di seluruh dunia." "Enam Novel Disenarai Pendek Hadiah Booker 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLondon \u2013 Enam novel termasuk karya pengarang Sri Lanka disenarai pendek dalam Hadiah Booker, iaitu antara anugerah sastera berbahasa Inggeris berprestij di dunia, pada 14 September lalu.\nSelain A Passage North karya novelis dari Asia Selatan, Anuk Arudpragasam, turut disenaraikan ialah novel sulung pengarang Amerika Syarikat (AS), Patricia Lockwood, iaitu No One is Talking About This, dan karya penulis Britain kelahiran Somali, Nadifa Mohamed (The Fortune Men).\nDua novel karya pengarang yang sebelum ini pernah muncul dalam senarai pendek Hadiah Booker turut tercalon, iaitu Damon Galgut dari Afrika Selatan dengan novel The Promise, iaitu kemunculan kali ketiga, dan Richard Powers lewat novel Bewilderment (kali kedua).\nSelain mereka, turut berjaya melepasi saringan senarai pendek ialah Great Circle karya pengarang AS, Maggie Shipstead, sekali gus menjadi penulis AS ketiga selepas Lockwood dan Powers yang disenarai pendek dalam edisi kali ini.\nKarya yang disenarai pendek kali ini membuka ruang kepada pembaca untuk menyelongkar kehidupan, kenangan dan trauma perang saudara di Sri Lanka selama tiga dekad; mengunjungi Pretoria ketika peralihan dasar Aparteid di Afrika Selatan dari sudut pandang keluarga rakyat kulit putih, dan melihat keanehan daripada pendedahan media sosial apabila berdepan realiti kehilangan jiwa.\nSenarai berkenaan turut memberi peluang kepada pembaca untuk menyaksikan pertarungan kemanusiaan dengan konspirasi, prejudis dan kesilapan penghakiman terhadap kes pembunuhan membabitkan kelasi Somali yang dihukum gantung di Cardiff pada dekad 1950-an; menjiwai perasaan cinta mendalam seorang ayah terhadap anaknya yang bermasalah dalam menjalani eksperimen terapi neurologi dan pencarian kehidupan baharu di planet lain, selain melalui perjalanan dekad demi dekad kisah dua wanita, juruterbang pertengahan abad ke-20 serta bintang Hollywood kurun ke-21.\nSenarai pendek daripada 158 novel yang disenarai panjang dalam Hadiah Booker tahun ini diumumkan oleh Pengerusi Panel Hakimnya, Maya Jasanoff secara dalam talian. Panel turut dianggotai penulis dan editor, Horatia Harrod; pelakon, Natascha McElhone; sarjana dan novelis, Chigozie Obioma, serta bekas Biskop Besar, Rowan Williams.\nSementara itu, Jasanoff berkata, dengan senarai buku hebat dan bernas, panel hakim berwacana bukan sahaja terhadap karya yang berkualiti, bahkan tujuan karya fiksyen itu sendiri.\n\u201cKami bangga dapat mengemukakan senarai pendek yang menampilkan cerita asli dengan skop yang luas dan memiliki kepelbagaian sudut suara serta gaya.\n\u201cBarangkali pilihan ini tepat dengan zaman kita kerana novel-novel ini berkongsi nilai betapa manusia sentiasa bergerak tetapi pada masa yang sama, berdepan kekangan kuasa lebih besar daripada kita,\u201d katanya.\nJasanoff berkata, sebahagiannya bersifat introspektif yang membawa kita menyelongkar minda watak lelaki Tamil yang menjejaki parut perang saudara Sri Lanka dan watak wanita Amerika yang memisahkan diri daripada dunia internet demi menghadapi krisis keluarga.\n\u201cSebahagiannya menyerap dalam perubahan era bersejarah yang sangat keras: limbungan di Cardiff pada zaman awal dekolonisasi British dan ranah di sekitar Pretoria dalam tahun-tahun akhir dasar Aparteid.\n\u201cDan ada juga yang bersifat sejagat, menjejaki usaha juruterbang untuk terbang mengelilingi bumi dan ahli astrobiologi membesarkan anak dalam latar yang diancam oleh perubahan iklim,\u201d katanya.\nPemenang bakal membawa pulang hadiah wang bernilai \u00a350 ribu (RM292 ribu), tetapi nilai itu jauh lebih kecil daripada sorotan dan tumpuan yang bakal diberikan oleh khalayak pembaca antarabangsa, termasuk meningkatkan serta melambungkan jualan naskhah di seluruh dunia.\nHadiah Booker terbuka kepada novel yang diterbitkan di United Kingdom dan Ireland antara 1 Oktober tahun lalu hingga 30 September tahun ini tanpa mengira kewarganegaraan pengarang, asalkan ditulis dalam bahasa Inggeris." "Semarak Jiwa Dramatis Warnai Sayembara Deklamasi Puisi Artistik 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Mohamad Hakimi Mohamad Rejab mewakili Selangor membawa pulang Piala Seri Pemuisi sebagai penerima Anugerah Platinum untuk Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Peringkat Kebangsaan 2021 bersempena Hari Malaysia anjuran Persatuan Pemuisi Nasional (PEMUISI) kerjasama Bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC). Lantaran kekangan COVID-19, acara tahunan kali ini dianjurkan menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada 15 September 2021 (Rabu) pukul 9.30 malam.\nPersembahan Hakimi yang penuh penghayatan itu diaduni dengan elemen dramatis digandingi seruling bernada melankolik dan visual yang terkehadapan dan berani mengejutkan penonton, mendeklamasikan dengan suara lantang puisi \u201cSecangkir Dakwat Merah karya penyair Mas Idayu Muhamadan. Beliau membawa pulang piala pusingan, berpeluang mengukir nama pada Piala Seri Pemuisi.\nAnugerah Emas dimenangi oleh peserta negeri Kedah, iaitu Zaheera Ibrahim, yang juga membawa pulang piala iringan. Persembahan Terbaik pula dianugerahkan kepada Rozalita Saufi yang mewakili negeri Perak, yang turut menyandang anugerah Perak. Anugerah Gangsa diberikan pada semua peserta lain, membawa pulang cenderahati dan wang tunai. Mohamad Hafiz Ishak mewakili Sarawak dan Siti Nur Aini Jasni mewakili Kuala Lumpur pula memenangi Busana Lelaki dan Wanita Terbaik.\nAcara sayembara ini menampilkan 15 orang finalis deklamator puisi mewakili negeri dan wilayah masing-masing, bertanding untuk merebut anugerah utama membawa pulang Piala Seri Pemuisi 2021 itu. Pentas dan ruang disediakan untuk para deklamator membuat persembahan puisi bertema semangat kebangsaan dengan gaya bebas berbentuk pementasan teatrikal dan dramatis yang mampu memberi kesan khas buat penonton.\nBarisan juri penilai terdiri daripada figura dan persona yang penting dalam ranah kepenyairan negara, diketuai oleh Presiden PENYAIR Yang Berusaha Datuk Dr. Rahman Shaari. Yang Berusaha Profesor Dr. Madya Norhayati Abd. Rahman, Dr. Abang Patdeli Abang Muhi, Sabri Yunus dan Sakrani Shamsuddin merupakan barisan juri sayembara kali ini. Penghakiman dilihat daripada kekuatan vokal penyampaian, kelancaran dalam pendeklamasian, penjiwaan dan penghayatan para penyair terhadap teks puisi.\nPeserta acara membuat persembahan dengan sangat bertenaga, kreatif dan penuh penghayatan, menyemarakkan jiwa puitis buat penonton dan kalangan deklamator. Setiap persembahan ditampilkan dengan elemen unik dan kreatif, sentiasa mempunyai prop dan set pentas yang memberi kesan visual, diiringi melodi mewarnakan persembahan puisi pilihan.\nBermula dengan persembahan Mohamad Hafiz Ishak mewakili Sarawak, beliau mempersembahkan puisi Sido Kopratasa berjudul \u201cBumi Kesetiaan\u201d, disusuli persembahan penuh dramatis yang digandingi seruling bernada melankolik daripada Mohamad Hakimi Mohamad Rejab mewakili Selangor dengan \u201cSecangkir Dakwat Merah\u201d yang akhirnya memenangi anugerah utama. Seterusnya, Nurfarahin Jamsari mewakli Negeri Sembilan mendeklamasikan \u201cMahkota Bangsa\u201d karya Perindu Seni, Ahmad Sa\u2019idun mewakili Perak dengan puisi \u201cPesan untuk Anak\u201d karya Che Su Deraman, Siti Nur Aini Jasni dari Kuala Lumpur dengan \u201cMemelihara Rumah Kita\u201d karya Zurinah Hassan, Mohd Rafiqi Bahuddin dari Johor dengan puisi Ahmad Razali Yusof berjudul \u201cDi Sungai Sejarah\u201d, Noras Robiah dari Pahang dengan \u201cCerita dari Sebuah Beranda\u201d karya Lim Swee Tin, Noor Hasmah Ismail dari Kelantan dengan \u201cKeranamu Malaysia\u201d karya Ahmad Salju, Zaheera Ibrahim dari Kedah dengan \u201cPesan untuk Anak\u201d karya Che Su Deraman, dan Siti Norashikin Bahirun dari Melaka dengan \u201cLestarikan Kedamaian Malaysia\u201d karya Aya Rohaiyah.\nDayana Chacho dari Sabah juga membuat persembahan puisi \u201cPesan untuk Anak\u201d karya Che Su Deraman, diikuti Ahmad Harun dari Pulau Pinang dengan \u201cKeranamu Malaysia\u201d karya Ahmad Salju, Nur Shayid Shamsi dari Terengganu pula dengan \u201cLestarikan Kedamaian Malaysia\u201d karya Aya Rohaiyah, Rozalita Saupi dari Perlis sekali lagi dengan \u201cPesan untuk Anak\u201d karya Che Su Deraman, dan akhirnya Noor Shakira Mohd Hasli dari Wilayah Persekutuan Labuan dengan \u201cMalaysia, Inilah Kasih, Sayang dan Cinta Kami\u201d karya Solihin Osman.\nDi samping persembahan peserta sayembara, terdapat juga persembahan artistik khas daripada jemputan khas. Kelab Serindit Mati Tersepit membuat persembahan pembuka acara dengan persembahan puisi \u201cSumpah Pendekar\u201d karya Khadijah Hashim.\nPersembahan selingan pertama pula dibuat oleh juara Sayembara Deklamasi Puisi Artistik 2020, iaitu Noor Azli Sudin dengan puisi \u201cSimfoni Indah Aksara Merdeka\u201d dan disusuli persembahan selingan kedua oleh Pengerusi PEMUISI Terengganu, Sharizat Satad, mendeklamasikan puisi \u201cTaring\u201d.\nPersembahan khas Siso Kopratasa juga disusun mempersembahkan lagu puisi Alif karya Alim Gutrah hasil arahan Suhairil Izham Suraya. Persembahan puisi penutup tirai dilaksanakan oleh Roslan Madun dengan \u201cFatwa Pujangga\u201d.\nYang Berbahagia Dato\u2019 Dr. Radzuan Ibrahim Presiden PEMUISI menyampaikan ucapan aluan menyuarakan ucap jaya kepada semua finalis sayembara yang membuat persembahan berjiwa semarak dan penuh penghayatan. Beliau juga menjemput para deklamator yang mendapat anugerah gangsa untuk hadir semula menjayakan sayembara ini pada tahun depan dengan harapan yang para penggiat akan dapat bersemuka semula, sebelum menyatakan penghargaan kepada DBP dan MOTAC atas sumbangan idea dan kerjasama menjayakan acara kali ini. Ketua Pengarah DBP, Yang Berbahagia Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran juga menyampaikan ucapan aluan menekankan kepentingan bersifat inovatif demi menaikkan galakan kepada masyarakat, terutamanya golongan belia terhadap budaya seni seperti deklamasi.\nKetua Setiausaha MOTAC, Yang Berbahagia Dato\u2019 Dr. Noor Zari Hamat digalas dengan tanggungjawab merasmikan program sayembara ini dan sempat merakamkan suara harapan supaya ranah pementasan puisi dan seni tanah air kekal rancak sewaktu situasi pandemik yang melanda dunia hari ini.\nTonton persembahan penuh di sini." "Citra Seni dan Alam dari Kaca Mata Penggiat Sastera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Semua karyawan telah ditakdirkan mengungkapkan citra alam dalam karya, kerana kepuitisan ada pada setiap manusia sejak dilahirkan. Justeru, rasa kasih dan sayang yang dianugerahi Allah dizahirkan dalam seni menulis puisi dan juga seni lukisan.\nDemikian juga Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail sering mengapresiasikan gelojak rasa dan pengamatannya terhadap alam sekitar melalui seni puisi dan seni lukis.\n\u201cNenek sering mengingatkan saya tentang kecintaan terhadap alam. Daripada nenek juga saya kenal pucuk rebung dan tahu menjeruknya. Oleh kerana itu citra seni lukis saya adalah pucuk rebung,\u201d ujarnya.\nSiti Zainon juga berkisah betapa ayat-ayat yang dikutip dalam kuliah-kuliah pembelajarannya ditemui dalam ilmu tauhid Sifat 20. Perkataan Wujud, Qidam, Baqa\u2019, Hayat, Sama\u2019, Basar, Kalam misalnya, akhirnya membina abjad-abjad yang melahirkan puisi-puisinya.\nBersahabat dengan alam menuntut taakul fikir dan keaslian jiwa. Justeru peri pentingnya menghayati sejarah alam kerana ia menjadi percakapan batin apabila menzahirkan sesuatu. Dato\u2019 Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air pula berpendapat bahawa puisi ialah kaedah untuk menyatakan idea. Beliau mengakui keghairahannya menulis sajak dalam media sosial sebagai penyampaian mesej paling mudah kepada para pembaca. Dr. Zaini ialah \u201corang menteri\u201d yang sering menyampaikan dan mempromosi citra alam sekitar melalui puisi lestari alam, termasuk Puisi Cinta Alam (kesedaran alam sekitar), Puisi Melayu Moden (tentang jiwa seni), Puisi Nasihat Mulia (amalan mulia), dan Puisi Lestari Alam (tentang gaya hidup lestari).\n\u201cBanjir yang berlaku di Yan, Kedah merupakan kesan kemerosotan alam akibat tangan-tangan manusia. Sungai Gombak misalnya, yang tidak lagi indah sebaliknya menjadi tempat longgokan sampah sarap yang bukan sahaja mencacatkan pandangan, bahkan merosakkan ekosistem kelestarian alam. Justeru, penyampaian tentangnya lebih baik disenikan kerana pelestarian alam ialah penghayatan tentang idea dan medium mempromosi idea,\u201d ujar Dr. Zaini.\nKesedaran terhadap pelestarian alam sekitar amat perlu dipupuk dan sewajarnya dapat menjentik kepekaan masyarakat yang akhir-akhir ini lebih gusar tentang pandemik COVID-19, sedangkan isu besar yang dibincangkan di seluruh dunia pada ketika ini ialah perubahan iklim. Maka tidak hairanlah, Malaysia menjadi negara nombor satu yang begitu bimbang tentang COVID-19 dan menjadi negara tercorot yang memikirkan tentang perubahan iklim. Skala ini boleh dilihat melalui indeks kegusaran World Worries 2021. Maka, usaha Dr. Zaini dalam memupuk kesedaran masyarakat terhadap pelestarian alam melalui puisi amat wajar dipuji. Kaedah ini juga bertepatan pada dekad ini kerana puisi sarat dengan keindahan unsur alam selain menggunakan diksi-diksi yang indah lalu menyerlahkan objek alam yang melingkungi manusia.\nPanel pembicara ketiga Dr. Zakaria Ali pula berkongsi pengalamannya terhadap penghayatan alam sekitar melalui lukisan-lukisan yang dihasilkannya.\n\u201cAlam mempengaruhi visi saya sebagai pelukis. Kita tidak dapat duplicate alam dalam lukisan. No matter how talanted you are, tetap tidak akan dapat menyalin-tampal alam sekitar dalam lukisan.\n\u201cPendorong terhadap realisme: seniman mendapatkan keserupaan sahaja, karya pula haruslah seimbang, justeru dapat menikmati keindahan seni sebagai pengkarya, pembuat, atau pemerhati. Maka dengan itu, rakaman video adalah lebih baik dan terkehadapan dalam menarik minat penonton serta membangkitkan kesedaran mereka,\u201d ujarnya.\nWebinar Seni dan Alam dikendalikan oleh Tan Sri Johan Jaaffar yang berlangsung pada jam 3.00 hingga 4.30 petang pada 12 September lalu, melalui platform Facebook Kementerian Alam Sekitar dan Air.\nTonton webinar penuh di sini." "Cemburu dan Fitnah: Emosi yang Memusnahkan dalam Hikayat Si Miskin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNoraini Abd. Shukor mengungkapkan cerminan realiti masyarakat tradisional Melayu yang berhadapan dengan sifat cemburu dan fitnah dalam sebuah hikayat lama Melayu.\nHikayat Si Miskin merupakan suatu cerita yang plotnya bermula daripada fitnah seorang raja yang cemburu apabila melihat seorang yang miskin tiba-tiba menjadi kaya .\nSalah satu proses atau cara untuk meluahkan perasaan adalah dengan menunjukkan emosi, sama ada melalui wajah dan tingkah laku (pergerakan fizikal). Kedua-dua reaksi ini akhirnya akan mempengaruhi pemikiran dan akan mengganggu mental seseorang sehingga bertindak di luar kawalan. Mulyadi (Dewan Bahasa Februari: 2001) menguatkan hujah ini dengan mengatakan bahawa untuk mengungkapkan emosi, terdapat dua cara yang digunakan oleh pengalam (experiencer), iaitu secara nonverbal melalui ekspresi wajah, gerakan tangan, mata dan bahasa tubuh yang lain, dan secara verbal melalui kata emosi.\nEmosi dalam Kamus Dewan Perdana didefinisikan sebagai (1) perasaan jiwa yang kuat seperti gembira, sedih atau marah. Kamus Dewan Perdana juga memberikan maksud keadaan perasaan atau fikiran yang terangsang dan melibatkan perubahan psikologi dan fisiologi pada seseorang (2021:573). Ketidakseimbangan emosi menyebabkan seseorang itu gagal mengawal diri dan akhirnya membawa kepada tindakan di luar batas kemanusiaan.\nAntara sifat jelik yang lahir daripada emosi yang tidak seimbang ialah sifat cemburu. Sifat cemburu lahir apabila seseorang tidak dapat melihat kelebihan atau kesenangan orang lain. Sifat cemburu biasanya dipandang dari sudut negatif. Namun sifat ini juga boleh dilihat dari sudut yang lebih baik apabila seseorang itu mengeluarkan emosi cemburunya apabila melihat kejayaan orang lain. Hal ini akan dapat mewujudkan perasan ingin bersaing dan mendorong untuk seseorang menjadi setara atau lebih baik daripada orang yang berjaya itu. Apabila situasi ini berlaku, maka individu tersebut berjaya mengawal emosinya dengan baik. Namun, untuk mengawal emosi yang berperang dalam jiwa, individu tersebut perlu berjuang melawan nafsunya daripada melakukan perkara yang merosakkan jiwa. Dalam hal ini, Wan Hussain Azmi Abdul Kadir dalam bukunya Kaunseling dan Psikologi Menurut Islam (DBP, 1995) menjelaskan bahawa:\n. manusia dalam dirinya mengandungi sifat-sifat kehaiwanan dalam bentuk kehendak-kehendak jasmani yang mesti dipenuhinya untuk menjaga keselamatan hidup dan jenisnya; dan juga mengandungi sifat-sifat malaikat yang dilihat dalam kerinduan rohaninya kepada mengenal Allah dan beriman dengan-Nya serta menyembah dan memuji-Nya. Antara dua bahagian pada manusia ini, kadang-kadang berlaku perjuangan; kadang-kadang ditarik oleh kerinduan kerohaniannya. Maka ketika ini, manusia berasa bahawa satu peperangan hebat sedang berlaku dalam dirinya.\n(1995:34-35)\nSekiranya seseorang itu tewas dalam perjuangan melawan nafsunya, natijah yang lain akan muncul bagi melunaskan rasa cemburu tersebut, sehinggalah terbitnya perasaan dan tindakan lain seperti fitnah. Perbuatan fitnah tidak akan berjaya dengan tindakan pencipta fitnah sahaja. Perbuatan ini disokong oleh pihak lain, iaitu penyebar dan pembenar fitnah tersebut. Dalam artikel Bayyan Linnas siri ke-82 yang berjudul \u201cBahaya Fitnah\u201d, dinyatakan bahawa:\n. terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada fitnah sesuai dengan kategori orang itu, sama ada dia adalah pereka fitnah atau semata-semata sebagai penyebar. Bagi pereka fitnah, banyak faktor yang boleh diandaikan seperti persaingan dalam merebut sesuatu sama ada meraih jawatan, mendominasi perniagaan, kepentingan politik, kedengkian terhadap kelebihan orang lain dan pelbagai lagi. Pokok pangkalnya fitnah terbit daripada hati seseorang yang kotor, bermasalah dan tidak dibenteng dengan iman yang teguh.\nArtikel tersebut telah memberikan huraian yang jelas terhadap punca berlakunya fitnah dalam masyarakat dan perkara ini telah banyak berlaku dalam masyarakat hari ini.\nHal ini bukan sahaja berlaku dalam masyarakat tanpa sempadan hari ini, tapi sebenarnya telah berlaku sejak dahulu lagi, iaitu sejak zaman masyarakat Melayu tradisional. Hal ini dibuktikan melalui hikayat lama yang terdapat dalam manuskrip Melayu. Hikayat Melayu yang mengisahkan hal cemburu dan fitnah ini terdapat dalam Hikayat Si Miskin. Hikayat Si Miskin merupakan suatu cerita yang plotnya bermula daripada fitnah seorang raja yang cemburu apabila melihat seorang yang miskin tiba-tiba menjadi kaya setelah menjumpai (tajau) tempayan yang berisi emas di dalam sebuah hutan.\nsasteraHikayat Si Miskin (2016, DBP) yang tergolong dalam genre sastera hikayat ini merupakan karya yang diterbitkan berdasarkan naskhah J.S.A van Dissel (Leiden, 1897). Hikayat ini juga dikenali sebagai Hikayat Marakarmah dan merupakan sastera Melayu yang mempunyai pengaruh Hindu dan Islam. Hal ini dapat dilihat melalui nama watak-wataknya yang ada pengaruh Hindu seperti Maharaja Indera Dewa, Maharaja Puspa Dewa dan Marakarmah sebagai watak utama. Pengaruh Islam jelas terdapat dalam hikayat ini apabila permulaan ceritanya dimulakan dengan lafaz \u201cWabihi Nastainu Billahi Ala dan ditutup dengan Wallahuaklam bissawab\u201d. Bahkan dalam penceritaan hikayat ini juga terdapat frasa yang menunjukkan bahawa watak-wataknya percaya pada takdir yang telah ditentukan kepada mereka.\nPlot cerita dalam hikayat ini bermula daripada fitnah yang dilakukan oleh Tuanku Syah Alam yang cemburu melihat Si Miskin yang telah menjadi kaya setelah terjumpa tajau (tempayan) berisi emas semasa menggali tanah untuk dijadikan rumah. Pada masa itu, Si Miskin dan isterinya telah memiliki seorang anak yang diberi nama Marakarmah. Si Miskin dan isterinya menganggap anaknya itu membawa tuah dan pernah berkata kepada anaknya:\n. jikalau sungguh-sungguh anak dewa-dewa hendak menerangkan muka ayahanda ini, jadilah negeri di dalam hutan ini sebuah lengkaplah dengan kota parit dan istananya serta dengan menteri, hulubalang, rakyat sekelian dan segala raja-raja di bawah baginda betap adat segala raja-raja yang besar-besar .\n(2016:7)\nSelepas beliau berkata demikian, telah berlakunya kesaktian apabila terjadinya negeri dengan lengkap segala peralatan kerajaan dan Si Miskin dan isterinya telah menjadi raja dengan gelaran Maharaja Indera Angkasa dan Tuan Puteri Ratna Dewi di negeri yang dinamakan negeri Puspa Sari dan anak-anaknya bergelar Maharaja Marakarmah dan Tuan Puteri Nila Kesuma. Kekayaan dan kehebatan Maharaja Indera Angkasa ini sampai kepada pengetahuan Tuanku Syah Alam dan telah berpakat dengan ahli nujum yang akan berjumpa dengan Maharaja Indera Angkasa supaya mengatakan kepada raja tersebut bahawa anak-anaknya, iaitu Marakarmah dan Puteri Nila Kesuma membawa celaka kepada raja dan negerinya. Sifat cemburu yang tidak dapat dikawal oleh Tuanku Syah Alam telah membawa kepada tindakan yang selanjutnya, iaitu menyebarkan fitnah untuk memporak-perandakan kehidupan Maharaja Indera Angkasa dan negerinya. Hal inilah yang membuktikan bahawa fitnah itu merupakan ujian kepada orang yang difitnah, sesuai dengan makna fitnah dalam bahasa Arab, iaitu ibtila atau ujian (Bayyan Linnas siri ke-82). Fitnah yang dicipta oleh Tuanku Syah Alam itu berjaya dengan sokongan (bantuan) ahli nujum yang menjadi penyebar dan pembenar fitnah.\nEmosi yang ada pada Tuanku Syah Alam tadi telah menimbulkan satu lagi emosi daripada pihak Maharaja Indera Angkasa (Si Miskin), iaitu emosi marah. Hal ini kerana, Maharaja Indera Angkasa tidak menggunakan pertimbangan akal dalam menangani fitnah tersebut. Beliau terus menerima fitnah tersebut dan bertindak menghalau kedua-dua anakandanya yang dikatakan membawa kecelakaan kepada diri dan kerajaannya. Tindakan beliau ini berbeza dengan isterinya yang mengatakan bahawa selama mereka memperoleh kedua-dua orang anakandanya itu, mereka sering beroleh kebajikan. Jelas di sini bahawa isteri Maharaja Indera Angkasa masih mempunyai akal budi dalam menangani fitnah tersebut, walaupun terpaksa akur dengan kehendak suaminya yang ingin membunuh atau menghalau anakanda mereka. Hal ini sampai kepada pengetahuan Marakarmah dan dia tahu bahawa dirinya terkena fitnah daripada orang yang cemburu kepada mereka sekeluarga yang selama ini, kaya dan bahagia.\nAkibat daripada kejadian fitnah ini, Marakarmah dan adiknya telah dihalau oleh ayahandanya keluar dari negeri tersebut dan mereka menuju ke hutan belantara. Akibat daripada peristiwa ini, negeri Puspa Sari telah ditimpa bencana apabila berlakunya kebakaran dan dalam hikayat tersebut dinyatakan, \u201cmaka negeri Puspa Sari pun terbakarlah, maka tiada satu pun yang tinggal, habislah pecah belah bercerai-berai tiada berketahuan lagi perginya itu masing-masing membawa dirinya ke sana sini\u201d.\nNatijah besar daripada fitnah ini ialah Maharaja Indera Angkasa tinggal di dalam hutan kerana sudah tidak mempunyai negeri dan barulah menyedari bahawa Tuanku Syah Alam dengki dan busuk hati terhadapnya dan menyesal atas perbuatannya. Maharaja Indera Angkasa tidak menyedari bahawa hal ini merupakan ujian terhadapnya yang telah kaya raya dan mempunyai anak yang membawa kebaikan kepadanya. Melalui cerita hikayat ini, generasi pada hari ini perlu menjadikannya sebagai iktibar dan perlu menghayati makna dalam ayat 15 Surah At-Taghabun yang membawa maksud: \u201cSesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian (fitnah), dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.\u201d\nBerdasarkan penceritaan dalam Hikayat Si Miskin ini jelas menunjukkan bahawa sikap cemburu yang membawa kepada fitnah sememangnya membawa kesan yang amat buruk dan boleh memusnahkan keluarga, masyarakat, dan seterusnya negara. Dalam keadaan sekarang, fitnah lebih mudah tersebar kerana dunia sudah tiada sempadan dan segala-galanya boleh disebarkan dalam tempoh masa yang singkat dan boleh membawa bencana yang lebih besar.\nCerita hikayat yang wujud sejak awal abad ke-18 bukanlah sekadar hiburan semata-mata. Sebalik penceritaannya yang pelbagai latar tempat dan watak, terdapat unsur didaktik yang boleh dijadikan panduan. Masyarakat hari ini seharusnya mendalami cerita-cerita hikayat yang pengajarannya boleh disesuaikan dengan kehidupan hari ini. Kesusasteraan Melayu Tradisional yang diselenggarakan oleh Zalila Sharif dan Jamilah Haji Ahmad (1993:180) menyatakan:\nSastera hikayat bukanlah semata-mata terdiri daripada cerita-cerita berunsur hiburan tetapi ada juga cerita-cerita yang membawa unsur berganda. Yang dimaksudkan di sini ialah terdapat beberapa buah hikayat yang mengandungi unsur-unsur yang sama berat seperti hiburan dan didaktik, hiuran dan kepahlawanan, hiburan dan keislaman, dan sebagainya, di samping mengemukakan satu\u2013satu unsur seperti didaktik, kepahlawanan atau keislaman secara tersendiri.\nSebagai kesimpulan daripada penulisan ini, setiap ahli masyarakat perlu tahu menilai sesuatu khabar yang diterima sebelum membuat apa-apa tindakan kerana tersalah langkah dalam membuat tindakan akan menyebabkan kemusnahan yang boleh membawa kesan yang panjang terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara.\nBeli Hikayat Si Miskin di sini.\n_________________________\nNoraini Abd. Shukor memulakan kerjayanya di Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1999 sebagai Perancang Bahasa, dan kini bertugas di Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan. Beliau menulis dalam genre puisi, esei dan cerpen. Karyanya pernah tersiar dalam Pelita Bahasa, Dewan Sastera, Tunas Cipta, dan sebagainya. Noraini turut menulis kertas kerja dalam seminar peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antara kajian beliau termasuklah \u201cTunjuk dan Ajar dalam Masyarakat Nusantara: Manifestasi Melalui Sastera Lisan\u201d, \u201cPeribahasa dalam Cerita Awang Sulung Si Jambul Lebat: Tanda dan Makna\u201d, dan \u201cPadi sebagai Tanda dalam Peribahasa Melayu\u201d. Kini beliau sedang mengkaji \u201cPengurusan Kepimpinan dalam Peribahasa Melayu\u201d." "Hikayat Panglima Nikosa Layak Diangkat Novel Melayu Pertama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Hikayat Panglima Nikosa (HPN) seharusnya diangkat sebagai novel Melayu pertama berdasarkan penulisannya dibuat 50 tahun sebelum lahirnya Hikayat Faridah Hanum.\nMalah, HPN yang ditulis oleh Ahmad Syawal Abd. Hamid menampilkan latar tempat di Sarawak dengan watak orang tempatan. Hal ini jauh berbeza dengan Hikayat Faridah Hanum yang diangkat sebagai novel pertama Melayu, tetapi mengangkat latar Mesir walaupun wataknya orang Melayu.\nPensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Che Abdullah Che Ya berkata, walaupun sifat fizikal HPN mempunyai hanya 29 halaman, hal ini tidak boleh menidakkan keupayaannya untuk diangkat sebagai sebuah novel.\n\u201cHal ini disebabkan, ketika naskhah itu dihasilkan, dalam landskap sastera kebangsaan genre cerpen dan novel belum lagi wujud. Ketika itu, sastera hanya ada hikayat dan cerita lucu, tetapi jumlah halaman HPN lebih panjang daripadanya,\u201d katanya ketika membentangkan latar sejarah HPN dalam acara Bicara Pusaka Bangsa yang disiarkan di platform Zoom anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak pada 14 September lalu. Acara yang dimudahcarakan oleh Dayang Norazan Kartini Pangeran Zain itu turut menampilkan pensyarah Universiti Malaysia Sabah, Dr. Nordi Achie.\nTegas Che Abdullah, HPN ialah dokumentasi sosiobudaya masyarakat Sarawak yang ditulis dalam tulisan Jawi, dan dari aspek sosiologi, ia merangkumi bukan hanya sosiobudayanya tetapi sosiopolitik dan ekonomi.\n\u201cHPN merangkumi ketiga-tiga aspek ini dan boleh dilihat gambaran masyarakatnya yang muafakat dan bersefahaman, misalnya dalam pembukaan penempatan baharu.\u201c\n\u201cSelain itu, novel ini turut membawa imej pemimpin yang bijak dan semangat cintakan tanah air, selain pengurusan negara yang sistematik dan golongan muda yang berjuang untuk negara,\u201d katanya.\nSementara itu, bagi Nordi, HPN membawa falsafah politik yang tersendiri. Naskhah itu katanya, walaupun diberi nama \u201chikayat\u201d tetapi bentuknya lebih menyerupai sebuah cerpen.\n\u201cHikayat pada zaman itu panjang lebar tetapi HPN dibina pendek, namun membawa falsafah politik yang tersendiri.\u201c\n\u201cAhmad Syawal melihat pemimpin di Sarawak atau di Alam Melayu amnya, mestilah orang \u2018putrabumi\u2019 yang mana dia anak tempatan yang lahir di sini dengan kedua-dua ibu bapanya juga \u2018anak bumi\u2019.\u201c\n\u201cPenegasan sebegitu sebenarnya ialah sindiran kepada James Brooke,\u201d katanya.\nTegas Nordi, HPN juga mengangkat tentang pentingnya seseorang pemimpin itu mempunyai falsafah akhlak (aksiologi) yang menyaksikan sifatnya haruslah baik selain Ahmad Syawal menegaskan mengenai perlunya pemimpin yang adil, malah persoalan keadilan itu disebut lebih daripada tiga kali dalam naskhah berkenaan.\nTambah Nordi, pemimpin juga mestilah intelek, bersikap waspada dan teliti apabila bertindak, selain berstrategi dan berintegriti.\n\u201cHPN mungkin tidak semasyhur naskhah klasik Melayu lain yang sezaman dengannya, tetapi ia membawa falsafah politik dan perang yang lestari merentasi zaman bahari,\u201d katanya.\nUntuk rekod, HPN ditemui dalam simpanan Rhodes House Library of Oxford, England oleh Sarawak Literary Society. Beli kajian dan teks novel\u00a0Hikayat Panglima Nikosa\u00a0di sini.\nBerita Berkaitan |\nHikayat Panglima Nikosa: Antara Novel Melayu Terawal di Dunia" "Sastera Harus Merakam Hal yang Real\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 \u201cSaya merasakan dunia saya ini sempit. Sejak 50-an, dunia saya adalah sastera. Saya baca dan tulis tidak pernah jemu. Sastera itu adalah tentang kehidupan. Sedar atau tidak, pengarang memetik kehidupan dan dimasukkan dalam karya, sama ada hal itu yang dibencinya atau disukainya. Itu yang saya buat,\u201d kongsi Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said dalam acara Webinar Pemikiran A. Samad Said yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, 16 September lalu.\nA. Samad berkata, kehidupan ini pendek dan dalam jangka masa yang singkat itu, kita perlulah berbuat baik dan membuat hikmah kepada orang lain.\nJusteru baginya, beliau berkongsi apa-apa yang diketahuinya kepada pembaca. Ada yang menerima dan ada sebaliknya \u2013 terpulang. Namun itu bukanlah hal yang besar baginya kerana beliau menyifatkan apa yang dibuatnya hanyalah mahu berkongsi.\n\u201cSastera itu bukan verbal tapi tulisan. Tidak tulis jadi sia-sia,\u201d katanya.\nPandangan A. Samad kemudiannya dikupas lanjut oleh Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka, Saifulizan Yahaya ketika menyorot kumpulan puisi terbaharu A. Samad Said, Di Atas Padang Sejarah.\nSaifullizan berkata, naskhah itu yang menghimpunkan 56 buah puisi diterbitkan pada tahun 2013 merupakan himpunan kesaksian dan respon Pak Samad terhadap persekitaran yang dilalui oleh beliau.\n\u201cA. Samad Said melalui zaman perang hingga menikmati hasil kemerdekaan. Zaman pasca perang, beliau di Singapura dan merakamkan realiti zaman itu menerusi Salina, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Adik Datang, dan Lantai T. Pinkie.\n\u201cPembabitannya dalam politik, misalnya dalam Gerakan Pemansuhan PPSMI dan puncaknya pada 7 Mac 2009, Perhimpunan Bersih 2.0 pada 5 Julai 2011 dan Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April 2012, kemudiannya dirakam dalam puisi yang diterbitkan dalam pelbagai media baharu sebagai pernyataan sikap beliau, yang kemudian dikumpulkan oleh Rahmat Haron dan diterbitkan menjadi kumpulan puisi Di Atas Padang Sejarah,\u201d katanya.\nTegas Saifullizan, Di Atas Padang Sejarah setakat ini merupakan kumpulan puisi mutakhir yang diterbitkan sekali gus merakamkan sikap dan pendirian beliau. Sebelum itu, A. Samad Said telah melahirkan kumpulan puisi yang dapat menjadi rujukan penting kepada perkembangan beliau dalam dunia perpuisian kebangsaan, seperti Benih Harapan (1973), Daud Semalu Pucuk Paku (1975), Benih Semalu (1984), Balada Hilang Peta (1991), Al-Amin: Riwayat Hidup Rasulullah SAW dalam Puisi (1999), dan Suara dari Dinding Dewan (2003).\n\u201cSecara jelas, kumpulan puisi Di Atas Padang Sejarah merakamkan suara naluri dan pemikiran beliau selepas tahun 2005 hingga 2013, yakni pada waktu itu negara telah mengalami beberapa peristiwa penting, baik dari segi politik, pendidikan dan sosial,\u201d katanya.\nTambah Saifullizan, berdasarkan penelitian keseluruhan 56 buah puisi dalam Di Atas Padang Sejarah, Pak Samad membuktikan bahawa karya sastera harus menjadi alat perakam peristiwa sebenar sesuatu zaman, dan hal ini tegasnya, menjelaskan sastera harus merakam sesuatu yang real.\nBeli kumpulan puisi Di Atas Padang Sejarah dan buku puisi panjang Al-Amin." "Realitinya, Dikotomi Sastera dan Sains Tidak Wujud\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDunia sains dan dunia sastera mahu tidak mahu akan bertembung dan berwacana menghasilkan pemikiran dan hasil polemik yang tersendiri. Kedua-dua bidang walaupun mempunyai tiang yang berbeza, namun mempunyai keterikatan yang tidak dapat dipisahkan.\nRem Dambul menyebut dalam kolumnya, \u201cDikotomi Sastera-Sains dan Generasi Ketam\u201d dalam eDewan Sastera, kedua-dua disiplin ilmu ini bukan sekadar saling memerlukan, tapi harus berintegrasi dengan peranan sastera yang memugar kemanusiaan dan sains memacu pembangunan. Dunia yang kaya kemajuan tetapi papa nilai insani, akan berakhir dengan sebuah tamadun yang bejat. Katanya lagi, kedua-dua unsur ini berkongsi persamaan, iaitu didukung oleh tradisi persuratan.\nWacana PENA minggu ke-10 menampilkan panel jemputan Dato\u2019 Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan Ahmad Patria Abdullah berganding sama dengan panel tetap, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad untuk berdiskusi dalam wacana \u201cOrang Sains dan Teknologi dalam Sastera: Membantu atau Membuntu?\u201d. Bicara ini berlangsung pada 17 September 2021, jam 9.00 malam.\nDato\u2019 Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, seorang tokoh akademik serta penulis yang mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan dan rawatan air serta sisa. Begitu juga Ahmad Patria yang pernah berlatarbelakangkan ahli farmasi juga seorang penulis novel fantasi dan cereka sains yang terkenal. Siri Saga Artakusiad dan Kronika Nashan memang tidak asing lagi dengan peminat genre itu di ranah tempatan mahupun di negara jiran. Kedua-dua figura ini berperanan besar dalam polemik sains-sastera, di samping mempunyai tapak dalam dunia sains mahupun teknologi yang mapan.\nAhmad Patria sebagai penulis fiksyen meletakkan kedudukan beliau selaras dengan hal itu. Katanya, dalam dunia sastera, empati memainkan peranan mewarnakan diri mereka dengan dunia sekeliling, sekali gus melahirkan karyawan atau sasterawan yang berlatarbelakangkan sains, teknologi dan pelbagai bidang lagi. Maka, terhasillah penulis yang mampu berfikiran kritis, pakar dalam sesebuah bidang, di samping kekal berkarya.\nBeliau berpendapat, walau apa-apa jua kerjaya seorang penulis itu, selagi mereka masih berkarya dan menulis, maka identiti yang dibawa oleh mereka masih sebagai ahli sastera.\n\u201cSebenarnya dikotomi antara orang sastera dengan orang sains hanya wujud dalam minda-minda khalayak, namun hakikat itu tidak pernah membezakan kita secara realiti,\u201d tambah Ahmad Patria.\nSaleeh pula tidak berminat untuk meletakkan klasifikasi khas sebagai garis pemisah yang hanya membawa keburukan daripada kekangan, kerana mencipta kekangan hanya akan menyekat kejayaan.\n\u201cSeseorang penulis boleh bekerja dalam bidang sains, namun juga berfikiran sastera dalam wacana mereka,\u201d jelas Saleeh.\nOrang sains yang menulis merupakan kebebasan dan kelengkapan buat mereka. Zaini Ujang merasakan kegiatan menulis yang beliau cipta adalah hasil rasa bebas kerana selain tidak perlu penyelidikan menyeluruh, kekangan yang ada dalam menulis jurnal dan artikel akademik adalah sangat minimal.\nElemen sains dalam naskhah sastera disaksikan semakin meningkat dan berkembang dalam kelajuan yang tersendiri. Sayembara-sayembara yang dianjurkan hari ini juga menjadi lubuk naskhah fiksyen sains yang menggugah imaginasi. Karyawan yang menghasilkan karya genre sebegini ialah mereka yang dalam kalangan ahli sastera atau ahli sains yang mempunyai kepakaran yang tersendiri.\nNamun, seperti yang ditegaskan oleh Saleeh Rahamad, mereka yang ahli sains dan pakar teknologi sememangnya mampu menulis dengan gagasan ilmu yang hebat, namun wujud kekurangan elemen estetika dalam prosa mereka.\n\u201cSebagai pembaca, saya sendiri pun dapat faedah yang tersendiri dalam sesi membaca hasil karya penulis yang bergelar ahli sains, walau wujud lompang yang hanya dapat dilengkapkan dengan pemikiran seorang sasterawan.\n\u201cNamun, kita melihat satu inisiatif kreatif yang bernafas baharu, seperti kolaborasi antara dua atau tiga orang yang berkepakaran tersendiri, seperti naskhah Leksikon Ledang\u00a0yang mana penulisnya, Nor Azidah Ishak dan Fadli al-Akiti masing-masing mempunyai kepakaran yang berbeza (sains dan sastera), namun apabila bergabung, terhasillah karya yang bernafas baharu, padu dan kuat,\u201d tambah Saleeh.\nAhmad Patria yang berperanan meronakan dunia fiksyen fantasi tanah air juga menambah, \u201cPenulis tidak berlatarbelakangkan sains yang ingin menulis dalam bidang ini perlu membuat penyelidikan, perlu untuk mengkaji subjek cereka yang dicipta.\n\u201cPaling utama dan penting dalam menulis, pertamanya minat dalam bidang itu. Secara langsung, kita akan mengumpul pengetahuan dalam bidang yang diminati. Kedua, untuk melengkapi pengetahuan, kita juga perlu tahu teknik dan kaedah dalam penyampaian menggarap cerita, pengetahuan tanpa kemahiran untuk bercerita akan melahirkan karya yang kurang menjadi,\u201d tambah Ahmad Patria.\nDari perspektif seorang tukang cerita, Ahmad Patria menekankan kepentingan untuk menggarap sastera fiksyen sains dengan baik, dan elakkan penulisan yang mengetuk pembaca dengan fakta-fakta yang berjela-jela. Menurut perbincangan ini juga, Patria menegaskan, adalah satu keperluan untuk berpengetahuan terhadap bidang secara umum dan melakukan penyelidikan demi mengelakkan penghasilan naskhah yang lemah.\nHal yang lebih utama, sastera kita harus dimasyaratkan dengan lebih mesra agar jurang perpisahan yang wujud dalam kalangan masyarakat akan terlerai.\n\u201cSepertimana puisi haiku dari Jepun yang diterap indah ke dalam semua lapisan masyarakat mereka, daripada warga pelajar sehinggalah individu profesional, malah saintis juga, memperlihatkan hasil sastera yang telah dimasyarakatkan,\u201d ujar Zaini Ujang menyimpulkan bicara.\nTonton wacana penuh di sini\u00a0untuk mengikuti sesi panel wacana membaca puisi dan prosa pilihan mereka." "Kedangkalan Penggiat Sastera Veteran: Kritik Terhadap Forum Sastera (Bhg. 1)\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNur Adilla dan Hazman Baharom memberikan kritikan terhadap Wacana PENA yang ke udara baru-baru ini tentang penggolongan penulis mengikut latar gender. Reaksi ini merupakan bahagian yang pertama.\nPermasalahan pokoknya bukanlah terhadap apakah isu yang diangkat, tetapi bagaimana kita menanggapi isu yang diangkat tersebut.\nKami mendengar dengan teliti forum Wacana PENA yang telah dianjurkan oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) bertajuk \u201cWanita Penulis Domestik, Lelaki Penulis Publik?\u201d pada 27 Ogos 2021, yang disiarkan secara langsung di laman Facebook perkongsian seorang kawan.\nTerima kasih kami ucapkan kepada para panelis forum tersebut, iaitu S.M. Zakir, Prof. Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, dan moderatornya, saudara Mohd Khair Ngadiron. Wacana tentang sastera memang perlu diperbanyak dan disemarakkan. Forum ini juga penting kerana ia telah memaparkan pemikiran dan kefahaman isu sosial dan sastera yang dipegang oleh kalangan peran utama dunia sastera dan perbukuan yang berada dalam institusi Kerajaan Malaysia:\nPun begitu, pada hemat kami, para panelis dalam forum tersebut kelihatannya melakukan banyak sekali kesalahan fatal dalam berfikir, menanggapi situasi wacana sastera kontemporari, dan memahami jalur-jalur pemikiran sosial. Dalam makalah ini, kami bermatlamat untuk menggariskan beberapa kritikan terhadap noktah-noktah yang telah disebutkan dalam forum tersebut. Kami merasakan bahawa kritikan sebegini adalah penting kerana forum tersebut telah disiarkan secara umum, lagi-lagi di platform PENA, maka kritikan juga perlu diterbitkan di ruang umum.\nForum tersebut bertitik tolak daripada persoalan tentang penulis lelaki, wanita, pencapaian masing-masing, idea pemerkasaan wanita dan isu gender, serta bagaimana representasi kedua-dua kelompok dalam penerbitan dan pengiktirafan sastera. Banyak noktah dan juga contoh yang telah dihuraikan oleh para panelis, dan makalah ini akan cuba meringkaskannya kepada beberapa isi penting sahaja.\nSepanjang forum tersebut, semua panelis telah membina kategori masing-masing dalam huraian idea mereka. Kategori yang kami maksudkan ini ialah pembahagian antara (i) gaya penulisan yang mengandungi \u201ckelelakian\u201d dan \u201ckewanitaan\u201d dengan bahasa yang \u201cmaskulin\u201d atau \u201cfeminin\u201d, (ii) singgungan isu-isu yang berfokus pada ruang \u201cdomestik\u201d dan \u201ctidak domestik\u201d, dan (iii) kerancuan sikap dalam mendepani wacana dan isu sosial. Kami akan huraikan kritikan terhadap kategori-kategori ini satu per satu.\nKedangkalan Mengkotakkan Gaya Penulisan\nPembinaan kategori sedemikian rupa untuk menghuraikan karya-karya sastera kontemporari adalah sangat bermasalah. Hal ini kerana, dalam proses pembahagian mereka tersebut, tiada langsung definisi jelas yang ditawarkan kepada para pendengar tentang apakah esensi dan batas kepada setiap kategori yang dibina itu. Justeru, apabila kategori-kategori ini diletakkan sebelah-menyebelah dengan isu gender, analisis yang dilakukan akan menjadi tidak jelas. Tambahan pula, pembahagian kategori sebegitu juga tidak mampu menjadi mampan (sustainable), memandangkan realiti kesusasteraan yang sentiasa bersifat bendalir, poros dan sering tidak boleh dibungkus dalam kotak yang kemas.\nDalam pembahagian kategori (i), terdapat panelis seperti Dr. Saleeh dan S.M. Zakir yang bersikeras dengan mahu menunjukkan perbezaan antara \u201cgaya menulis lelaki\u201d dengan \u201cgaya menulis perempuan.\u201d Bahkan, isu \u201cgaya menulis\u201d ini begitu ditekankan sehinggakan disebut oleh S.M. Zakir bahawa \u201csaya tidak sangka Harper Lee itu perempuan\u201d (minit 37:30). Sikap ini amat menggamamkan, kerana bagaimana seorang yang selalu dilabel pemikir atau sarjana bidang sastera mahu membeza-bezakan pula cara menulis antara gender? Secara tersirat, andaian yang tersisip dalam cara berfikir begini ialah, perlunya ada beza antara cara menulis \u201clelaki\u201d dengan \u201cperempuan,\u201d dan cara berfikir sebegini berpunca daripada diskriminasi gender secara bawah sedar. Sedangkan beliau sendiri beberapa kali menyebut bahawa pengalaman sekeliling yang akan membina kepenulisan penulis itu sendiri (minit 21:00). Hal ini disentuh sendiri apabila diakui bahawa bukan sedikit penulis lelaki yang prolifik menulis \u201cisu domestik\u201d di Malaysia.\nWalau bagaimanapun, dalam menanggapi penulis wanita, beliau menyatakan keresahan dengan isu-isu gender yang terdapat dalam karya penulis wanita. Jelas semua bicarawan dalam forum ini, adalah bermasalah apabila wanita kerap menulis isu-isu domestik sahaja kerana \u201cisu domestik\u201d bukanlah penting, malah terpencil pula. Menurut mereka lagi, untuk memastikan karya-karya pengarang wanita ini boleh diiktiraf dan pergi jauh, mereka harus keluar daripada kepompong \u201cisu domestik\u201d yang \u201cberulang-ulang\u201d dan remeh (Dr. Saleeh pada minit 43:10, S.M. Zakir pada jam 1:09:00, dan Dr. Norhayati pada minit 49:00).\nSeterusnya, terdapat andaian bahawa pengarang perempuan selalu memetik isu-isu peribadi seperti isu \u201cseksual\u201d, \u201cbermain perasaan\u201d, \u201cisu peribadi emosi yang interpersonal\u201d, dan lain-lain, manakala pengarang lelaki pula diandaikan sering menulis isu-isu \u201cpolitik\u201d, \u201ckemasyarakatan\u201d dan \u201cisu di luar rumah\u201d. Jadi, pengarang perempuan digalakkan untuk memetik juga isu-isu politik supaya dapat \u201cbersaing\u201d dengan pengarang lelaki. Malah, Dr. Norhayati pergi lebih jauh sehingga menyindir pengarang perempuan supaya \u201ccukup-cukuplah dengan ruang domestik, berwacanalah sebagaimana lelaki berwacana\u201d (minit 59:00). Andaian dan sindiran begini adalah amat tidak bertanggungjawab kerana tampak jelas kegagalan bicarawan memahami pokok pangkal masalah sosial yang diterjemah dalam karya sastera.\nAda masalah dalam andaian ini. Para panelis sedang melakukan penghakiman nilai (value judgment) terhadap gaya menulis wanita yang menulis isu-isu peribadi, dan hal ini dianggap \u201ckurang bernilai\u201d berbanding dengan gaya menulis lelaki yang \u201cpolitikal\u201d itu. Mengapakah penghakiman ini dilakukan? Mengapakah satu gaya menulis itu dianggap kurang bernilai pula? Adakah penghakiman mereka ini disokong oleh bukti-bukti yang wujud dalam sastera nasional dan antarabangsa? Kami mahu tunjukkan yang para panelis tidak mampu membuktikannya dan seperti kurang mengikuti perkembangan sastera dunia, kerana situasi sastera antarabangsa menunjukkan sebaliknya.\nKita mulakan dengan sastera Malaysia dahulu. Dalam sastera Malaysia sendiri, banyak sekali contoh pengarang lelaki yang menulis isu-isu perasaan, emosi dan sifat insecure terhadap diri sendiri. Satu contoh yang paling jelas ialah Arena Wati dalam novelnya Citra (1991) dan Sudara (1994). Melalui novel Citra, Arena telah membawa watak Sari Bulan yang tidak yakin dengan keadaan tubuh perempuannya yang akan berkahwin dengan Bacok. Sari Bulan yang merupakan seorang janda, lebih tua 13 tahun daripada Bacok itu merasakan dirinya tidak cukup baik untuk dikahwini oleh seorang lelaki muda, sehinggakan dia berkira-kira untuk melakukan pembedahan supaya dapat mengetatkan semula farajnya. Malah, dalam novel Sudara pula, Arena menghuraikan rasa sukar orang perempuan yang memakai caping, iaitu pelekap logam yang direka untuk menutup faraj perempuan ketika suami mereka pergi meninggalkan rumah. Nah, isu-isu ini merupakan isu perasaan dan emosi wanita, dan telah digarap oleh penulis lelaki dalam sastera Malaysia.\nPenulis lelaki yang lebih kotemporari seperti Saharil Hasrin Sanin dan Faisal Tehrani turut begitu banyak sekali menulis dengan sudut pandang wanita yang membicarakan \u201cisu domestik\u201d di samping isu-isu besar lain. Sama juga dengan penulis wanita kita seperti Siti Raihani Mohamed Saaid, Nisah Haron, Siti Jasmina Ibrahim, Mawar Safei, dan ramai lagi yang menulis isu pengalaman kewanitaan dalam karya mereka. Isu gender ialah isu yang politikal dan wujud bersama masalah-masalah politikal dan sosial lain. Kita tidak boleh memasukkan isu-isu ini dalam kotak-kotak secara simplistik tanpa memahami sebab dan akibat isu-isu ini dalam masyarakat.\nPun, jika kita meneliti deduksi S.M. Zakir dalam forum ini, apabila lelaki menulis \u201cisu domestik\u201d, beliau lebih apologetik kerana lelaki-lelaki ini menggunakan bahasa yang lebih maskulin dan kurang emosional (minit 34:00). Maknanya, beliau merasakan bahawa \u201cisu domestik\u201d ini boleh ditulis oleh lelaki tetapi bermasalah pula jika ditulis oleh wanita. Komentar beliau ini begitu tidak konsisten dan menayangkan sikap tidak adilnya dalam menanggapi soal kepenulisan dan gender.\nJika para bicarawan jujur dan tekun dalam mendalami perkembangan sastera antarabangsa pula, mereka akan dapati \u201cisu domestik\u201d dalam karya sastera begitu meriah dan ditanggapi sesuai dengan kualiti keseluruhan seni karya itu sendiri. Apatah lagi, bukan sekadar perempuan, sungguh ramai penulis lelaki yang menulis dengan gaya yang \u201cbukan kelelakian\u201d menurut kata panelis, dan sebaliknya.\nSebagai contoh, penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 2012, Mo Yan pernah menulis novel Big Breasts and Wide Hips (edisi terjemahan 2004) yang meneliti dengan amat mendalam hal-hal perasaan seorang ibu yang tidak dinamakan dalam novel tersebut, ketika membesarkan sembilan orang anaknya.\nPada masa yang sama, novelis kontemporari yang telah menerima banyak sekali anugerah antarabangsa, seperti PEN American Center Award, O. Henry Prize, dan Commonwealth Writers\u2019 Prize, Chimamanda Ngozi Adichie telah dengan cemerlangnya membedah isu-isu kewanitaan dan \u201cisu domestik\u201d di samping menyinggung politik Amerika, rasisme sistematik, dan implikasi undang-undang serta institusinya melalui novel Americanah (2013), malah politik Nigeria yang melibatkan perang Biafran telah menjadi latar penting dalam novel Half of a Yellow Sun (2006). Isu pertembungan antara mazhab-mazhab agama sehingga mencetuskan persengketaan antara puak telah disentuh dalam novel Purple Hibiscus (2006). Inilah sebuah contoh bagaimana pengkategorian dalam bentuk \u201cgaya kelelakian\u201d atau \u201cgaya keperempuanan\u201d ialah kategori palsu yang tidak mampu dibuktikan sama sekali oleh para panelis. Jika Chimamanda seseorang yang menulis dalam bahasa Melayu, tentu novel-novelnya yang tekal dengan isu \u201cgender yang domestik\u201d akan dikritik sebagai terkebelakang atau lapuk oleh para panelis dan moderator forum PENA tersebut.\nTambahan pula, pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan pertama dari Jepun, Kawabata Yasunari sebagai seorang lelaki telah banyak menyinggung isu-isu perasaan peribadi watak-wataknya secara feminin, yang perasaan ini lazimnya tidak dirasakan oleh lelaki. Dalam cerpen bertajuk \u201cSasabune\u201d (\u201cKapal Daun Buluh\u201d), cerita tentang Akiko yang tempang kakinya akibat polio dibawa ke hadapan, bersama-sama keresahan watak tersebut yang feminin sekali. Ketika ibu bapa tunangnya datang bertemu ibu bapa Akiko selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, Akiko berasa resah sama ada pertemuan tersebut adalah disebabkan tunangnya mahu memutuskan ikatan pertunangan kerana kaki Akiko yang tempang itu (keresahan ini dapat dikesan dalam versi asal bahasa Jepun, kerana terjemahan bahasa Inggeris gagal mengungkapkan hal ini [rujuk Kawabata Yasunari Tenpan Zenshuu/Koleksi Cerpen Lengkap Kawabata Yasunari, 1964: 907\u2013 907]). Keresahan ini amat feminin bagi masyarakat Jepun pada zaman Showa, kerana jika lelaki yang berdepan dengan keadaan ini, mereka tidak akan berfikir sebegitu.\nUntuk memahami sebahagian isu ini, sekali lagi Sasterawan Negara kita sendiri, iaitu Arena Wati telah lama menulis isu keresahan wanita Jepun melalui watak Nagai Michiko lewat novelnya, Sakura Mengorak Kelopak (1987), khususnya setelah suaminya yang curang itu membunuh diri di laut. Isu-isu gender dan feminisme juga banyak dibangkitkan lewat peran-peran wanita yang majoriti dalam novel Kuntum Tulip Biru (1988).\nDalam arena puisi pula, imam besar anutan utama umat Islam di Malaysia, Imam al-Shafi\u2019i telah lama menulis puisi mengkritik sikap lelaki yang main perempuan hanya untuk berfoya-foya. Perkara ini boleh dikatakan jarang disentuh oleh penulis-penulis lelaki. Dalam puisi beliau bertajuk \u201cJahd al-Bala\u2019\u201d (\u201cBencana dan Bala\u201d), beliau bermadah:\nAkthar al-n\u0101s f\u012b al-nis\u0101\u2019 waq\u0101l\u016b; inna \u1e25ubb al-nis\u0101\u2019 jahd al-bal\u0101\u2019\nLaysa hubb al\u2013nis\u0101\u2019 jahdan wal\u0101kin; qurbu man l\u0101 tu\u1e25ibb jahd al-bal\u0101\u2019\n(D\u012bw\u0101n al-Sh\u0101fi\u2019\u012b., 1971:18)\nTerjemahan kasar:\nRamai orang pergi kepada perempuan tetapi berkata:\nCinta kepada perempuan itu bencana dan bala.\nBukanlah cinta kepada perempuan itu bencana,\nEngkau mendekati yang tidak engkau cintai, itulah bencana dan bala!\nJika menurut jalur fikir para panelis, sungguh \u201ckeperempuanan\u201d dan anti-patriarki sekali gaya Imam al-Shafi\u2019i berkarya. Sudah alang-alang, mari kita lihat pula terjemahan puisi pertama yang diketahui di dunia, hasil karya seorang wanita Sumeria, Enheduanna pada kira-kira 2300 SM (terjemahan ke dalam bahasa Inggeris oleh Michael R. Burch):\nYou hack down everything you see, War God!\nRising on fearsome wings\nyou rush to destroy our land:\nraging like thunderstorms,\nhowling like hurricanes,\nscreaming like tempests,\nthundering, raging, ranting, drumming,\nwhiplashing whirlwinds!\nMen falter at your approaching footsteps.\nTortured dirges scream on your lyre of despair.\nLike a fiery Salamander you poison the land:\ngrowling over the earth like thunder,\nvegetation collapsing before you,\nblood gushing down mountainsides.\nSpirit of hatred, greed and vengeance!\nDominatrix of heaven and earth!\nYour ferocious fire consumes our land.\n(\u201cThe Temple Hymns of Enheduanna\u201d dlm. The HyperTexts)\nKalaulah Enheduanna hidup pada hari ini, nampaknya puisi tentang kesan trauma serta kemusnahan akibat peperangan dan sindiran terhadap Dewa Perang seperti ini akan dianggap sebagai \u201ckarya kelelakian\u201d oleh para panelis. Pastinya akan terbit ungkapan seperti, \u201cOh, saya tidak sangka Enheduanna ini perempuan!\u201d atau \u201cEnheduanna telah berjaya menipu saya dengan melindungkan keperempuannya melalui penulisan \u2018bukan isu domestik\u2019\u201d (seperti yang dilakukan oleh S.M. Zakir pada minit 36:28)!\nTerdapat pelecehan daripada para panelis terhadap gaya penulisan yang dianggap sebagai \u201ckewanitaan\u201d yang difahami sebagai \u201clenggok\u201d, \u201clanggam\u201d atau \u201cgaya\u201d bahasa pengkarya. Dr. Saleeh misalnya, telah menyatakan bahawa karya yang beremosi dan melankolik tidak layak diangkat sebagai karya sastera tinggi. Isu-isu emosi, perasaan dan kecurangan yang dianggap sepele itu bahkan dilabelnya sebagai satu \u201cvirus dalam penulisan\u201d (minit 43:55).\nPersoalannya, benarkah karya sastera tinggi tidak boleh melankolik, tidak bermain dengan emosi yang sepele? Hakikatnya, novel pertama di dunia, Genji Monogatari\u00a0(Hikayat Genji) karya Murasaki Shikibu, diiktiraf sebagai sastera tinggi di seluruh pelosok dunia, dan karya ini dari awal sampai ke sudah memang berpusat pada emosi, hal-hal domestik, dan kisah kecurangan watak utamanya, iaitu Hikaru Genji. Bahkan, menurut pengkaji kontemporari W.M. Theodore de Bary dalam The Great Civilized Conversation\u00a0(2013), kisah-kisah sepele ini bahkan membuka dimensi baharu dalam kajian psikoanalisis, lagi-lagi apabila pembaca cuba merasionalkan tindakan Genji yang jatuh cinta dengan ibu tirinya sendiri, iaitu Maharani Fujitsubo. Permasalahan pokoknya bukanlah terhadap apakah isu yang diangkat, tetapi bagaimana kita menanggapi isu yang diangkat tersebut.\nKesemua contoh di atas hanyalah setitis air di lautan sastera dunia yang membawa \u201cisu domestik\u201d dalam karya-karya mereka. Di luar pagar Malaysia, masyarakat dunia menanggapi \u201cisu domestik\u201d wujud serentak dengan \u201cisu besar dan luar rumah\u201d. Isu dalam penulisan ialah hasil fikiran pengkarya dan tidak boleh dipaksa-paksakan hanya untuk memenuhi selera para hakim sayembara yang ketinggalan zaman. Bagi pemikir dan pengkarya tulen pula, tidak kiralah lelaki atau perempuan, pengalaman dan pemerhatian pengkarya dalam memahami pergomolan kompleks masyarakat itu jugalah aset yang dituang ke dalam penulisannya. Oleh sebab itu, tidak mustahil untuk wanita terus menulis tentang pengalaman dan pemerhatian masyarakat terhadap kewanitaan atau ruang yang dilaziminya (atau dipaksakan oleh ahli masyarakat, seperti para bicarawan forum ini). Sepertimana bicarawan boleh menghormati para lelaki yang menulis sebebasnya tentang apa-apa sahaja isu tanpa pemaksaan untuk masuk ke dapur atau berhenti melepak dan merokok di ruang tamu atau beranda rumah, pengalaman penulis wanita di \u201cdapur\u201d ini pula atau di mana sahaja, tidak harus diremehkan dengan simplistik oleh sesiapa, apatah lagi oleh para sarjana sastera.\nBaca Bahagian Kedua Reaksi |\nKedangkalan Penggiat Sastera Veteran: Kritik Terhadap Forum Sastera (Bhg. 2)\n\n_________________________\nNur Adilla ialah diplomat di Kementerian Luar Negeri. Sebelum itu, beliau merupakan Pegawai Penyelidik Dasar dan Legislatif di Pejabat Speaker Dewan Negeri Selangor, serta penyelidik di Fakulti Sosiologi, Universiti Washington, Amerika Syarikat. Beliau juga merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam dua bidang, iaitu Sains Politik dan Undang-undang, Kemasyarakatan dan Keadilan dari Universiti Washington. Selain esei, Nur Adilla turut menulis cerpen dan pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) ketika di sekolah menengah. \n\u00a0Hazman Baharom ialah Pegawai Penerbitan Kanan di Parlimen Malaysia. Beliau juga merupakan penerima Hadiah Juri dan Hadiah Audiens dalam Pertandingan Haiku Antarabangsa 2020 anjuran Maison de la Culture du Japon \u00e0 Paris, Perancis. Beliau telah menulis dua buah buku, Renungan Kemasyarakatan (2016) dan Perihal Keadilan (2019), selain sudah menterjemahkan empat buah buku daripada bahasa Inggeris dan bahasa Cina, serta menterjemahkan beberapa karya sastera Jepun." "Munsyi Muda Bahasa Tonggak Pemerkasaan Mutu Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Majlis Pelantikan dan Penyerahan Watikah Pelantikan Munsyi Muda Bahasa bersempena dengan Majlis Penangguhan Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan peringkat JPA dan MAMPU 2022 telah berlangsung pada hari ini di Auditorium JPA Aras 4, Blok C1, Putrajaya.\u00a0\nMajlis yang gilang-gemilang ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato\u2019 Ts. Kamel Mohamad, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), yang mewakili YBhg. Dato\u2019 Sri Mohd Shafiq Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam. \nYang turut hadir ialah YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan YBrs. Dr. Mohd Bakhari Ismail, Timbalan Ketua Pengarah MAMPU. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menggesa supaya Munsyi Muda Bahasa menjadi tonggak pemerkasaan mutu bahasa Melayu di jabatan masing-masing.\nMajlis ini menyaksikan sebanyak 172 orang daripada 191 orang telah menerima watikah pelantikan dan pentauliahan Munsyi Muda Bahasa daripada pelbagai agensi kerajaan seluruh Malaysia.\nAntara fungsi Munsyi Muda Bahasa termasuklah sebagai perujuk bahasa bagi kementerian atau agensi dalam perkhidmatan awam dari segi penyediaan dokumen rasmi dan sebagainya.\nSebagai usaha memperkasakan bahasa kebangsaan dalam kalangan penjawat awam peringkat JPA dan MAMPU, pelbagai pertandingan juga telah diadakan seperti pantun, fotografi, teka silang kata, mencipta poster dan sudut bacaan terbaik. Pemenang bagi setiap pertandingan ini telah diumumkan dalam majlis tersebut." "Maharaja Yongzheng: Antara Novel Sejarah Terunggul Kesusasteraan Moden China\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Siri bicara sastera terjemahan China diteruskan dengan membicarakan novel terjemahan Maharaja Yongzheng: Perebutan Takhta Sembilan Putera (Y\u014dngzh\u00e8ng hu\u00e1ngd\u00ec: Ji\u01d4 w\u00e1ng du\u00f3 d\u00ed) oleh Er Yuehe. Tokoh pengarang novel sejarah ini mendapat inspirasi daripada novel klasik Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah dan kemudiannya berjaya menghasilkan novel trilogi sejarah Siri Maharaja yang memberikan fokus kepada tiga orang maharaja hebat Dinasti Qing, iaitu Maharaja Kangxi, Maharaja Yongzheng, dan Maharaja Qianlong.\nSiri Maharaja Yongzheng merupakan siri yang paling terkenal dan dipilih menjadi koleksi 70 Novel Terunggul 70 Tahun sempena Ulang Tahun 70 Tahun Penubuhan Republik China. Siri novel sejarah ini telah diadaptasikan kepada drama bersiri televisyen (44 episod) yang sangat terkenal dan popular, selain turut memenangi anugerah berprestij.\nNovel Maharaja Yongzheng: Perebutan Takhta Sembilan Putera (Maharaja Yongzheng) merupakan jilid pertama daripada tiga jilid novel siri Maharaja Yongzheng. Penterjemahan novel ini merupakan projek penterjemahan sastera China yang kelima oleh Pusat Kebudayaan Han Malaysia (HAN) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Novel ini diterjemahkan oleh Tan Lai Peng, disunting oleh Dato\u2019 Goh Hin San dan diterbitkan oleh DBP.\nBagi membicarakan novel ini, siri kedua Titian Sastera membawa dua orang panel, iaitu Puan Tan Lai Peng, penterjemah novel Maharaja Yongzheng: Perebutan Takhta Sembilan Putera; Profesor Tan Xiao, Timbalan Dekan Fakulti Bahasa dan Budaya Asia, Universiti Pengajian Asing, Guandong; dan moderator, karyawan DBP, Puan Rabi\u2019atuladawiyah Mohd. Salleh.\n\u201cMelalui sejarah, telah dibuktikan bahawa seorang pemimpin atau pemerintah yang berwibawa dan prihatin terhadap kehidupan rakyat jelata akan membawa negaranya kepada kegemilangan, kestabilan dan kesejahteraan.\u201d\n\u201cTerjemahan novel ini diharapkan dapat memberikan gambaran kepada pembaca di Malaysia bahawa betapa pentingnya pentadbiran sesebuah kerajaan yang baik, melunaskan permintaan dan membela nasib rakyat,\u201d kata Tan Lai Peng.\nBagi Profesor Tan Xiao, siri novel ini memperkenalkan tiga maharaja hebat sewaktu kemunculan awal zaman Dinasti Qing yang merupakan dinasti beraja terakhir negara China. Bagi siri yang dibicarakan, Maharaja Yongzheng merupakan maharaja keempat Dinasti Qing, putera keempat Maharaja Kangxi dan ayahanda Maharaja Qianlong. Maharaja Yongzheng memerintah dari tahun 1722 hingga 1735, dan banyak menaik taraf kehidupan rakyat dengan melakukan pembaharuan dalam sistem pemerintahan dan sosioekonomi, seperti meluaskan sistem perparitan, saluran pengairan, sistem pendidikan, dan sistem pengangkutan. Baginda membentuk pesuruhjaya khas bagi membanteras rasuah dan salah guna kuasa pembesar pada masa tersebut.\nPetikan daripada novel ini, \u201cLangit tiada dua matahari. Negara tiada dua raja\u201d memberikan bayangan perjalanan novel ini tentang riwayat Maharaja Kangxi yang berliku dan kompleks apabila berdepan dengan plot rampasan kuasa daripada sembilan orang puteranya yang bercita-cita tinggi untuk menjadi pemerintah, lalu membentuk puak-puak mereka sendiri dan turut bersekongkol dengan para pembesar. Pergolakan politik yang berlaku turut disebabkan oleh khabar angin dan prasangka.\nPenceritaan dalam siri ini sangat mendebarkan. Watak-wataknya hidup dan perwatakan mereka jelas. Er Yuehe bijak menggabungjalinkan gaya tradisional dan moden untuk menghasilkan bahasa prosa yang indah.\nProgram ini disiarkan secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada 18 September pada jam 3.00 petang. Pertandingan Resensi Buku Sastera Maharaja Yongzheng turut diadakan dan tarikh tutup penyertaan adalah pada 15 Oktober 2021.\nTonton bicara buku Maharaja Yongzheng: Perebutan Takhta Sembilan Putera di sini.\nBeli novel Maharaja Yongzheng: Perebutan Takhta Sembilan Putera di sini.\nBerita Berkaitan |\nKarya Sastera Terjemahan: Mengangkat Budaya dan Citra Dua Negara" "Program Wira Barisan Hadapan Mengisi Makna Hari Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sejak COVID-19 melanda, para petugas barisan hadapan menaburkan bakti kepada negara tanpa berhenti dan tanpa rehat yang mencukupi. Kerajaan dan rakyat diseru untuk terus patuh dan tidak alpa mengamalkan SOP bagi mencegah penyebaran wabak.\nBersempena dengan sambutan Hari Malaysia 2021, Badan Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempersembahkan program Wira Barisan Hadapan. Program persembahan ini dikendalikan oleh Zack Kirana dan disiarkan secara langsung menerusi Studio Langsung DBP pada 16 September 2021 jam 9.00 malam. Program ini bukan program hiburan kosong tetapi program yang memastikan warisan budaya tidak hilang, menambahkan pengalaman baharu dan ilmu pengetahuan.\nKeunikan program kali ini ialah, kandungan programnya tidak menggunakan konsep ucapan tetapi menampilkan mesej melalui persembahan Teromba. Teromba merupakan ungkapan berirama, menceritakan panduan atau amalan sesuatu masyarakat. Bentuk puisi ini juga dikenali sebagai puisi adat dan berasal daripada masyarakat Minangkabau. DBP menampilkan Raja Teromba, Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin yang dinobatkan sebagai Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup, bagi mendendangkan tiga teromba beliau yang bertemakan COVID-19. Mesej teromba beliau penuh dengan nasihat mengenai peranan rakyat Malaysia dan pentabiran negara dalam mendepani wabak ini, yang bukan hanya terhad kepada barisan petugas hadapan, tetapi juga persediaan negara dan dunia yang perlu menangani pelbagai rintangan yang berlegar kerana penyakit cepat merebak ini.\nPersembahan Wira Barisan Hadapan menampilkan penggiat seni dan juga barisan petugas hadapan. Segmen pertama menampilkan Leftenan Muda Syaza Izzati Hayazi (JPA) yang mendeklamasikan sajak \u201cTerowong\u201d karya Siti Zaleha M. Hashim, Shamsul Idzam Jamil (DBP Cawangan Sarawak) menyanyikan lagu puisi Isyarat-Nya karya Layskar Puisi, Siti Norhalizawati Zam Hashari (jururawat) mendeklamasikan sajak \u201cSeakan Hilang\u201d karya Zaleha Hashim, dan persembahan lagu Malaysia nyanyian asal Faizal Tahir oleh Halim Hisamudin (juara Bintang Kecil Kebangsaan 2015).\nSegmen kedua pula menampilkan Shamsul Effandy Rizyan (penghantar makanan LiveExpress) yang mendeklamasikan sajak \u201cWahai Teman\u201d karya Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Rosdi Daud membaca naskhah \u201cMak Nak Beli TV\u201d karya Putraery Ussin, Dymphna Simon mendeklamasikan puisi \u201cMenuju Kebenaran\u201d karya Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan dengan menggunakan bahasa isyarat, dan Zamzuriah Zahari (pensyarah ASWARA) membawa keluarganya untuk bersama-sama menyanyikan lagu kontemporari Gemuruh Merdeka karya dan gubahan beliau sendiri.\nSegmen ketiga dan terakhir pula menampilkan \u2018Corat-coret Sukarelawan\u201d oleh Haliza Hashim (sukarelawan antarabangsa), Superitenden Foo Chek Song (PDRM) mendeklamasikan sajak karyanya sendiri, \u201cSuara Kita Suara Malaysia\u201d, Pegawai Waran 1 Marzelan Md Jusoh mendeklamasikan sajak \u201cHarapan Barisan Hadapan\u201d karya Masraden MD dengan gubahan Perindu Seni, dan diakhiri dengan monolog \u201cSejak Kau Datang\u201d oleh Sabri Yunus.\nProgram Warisan Barisan Hadapan melabuhkan tirai dengan persembahan istimewa Ajeeb Sape mengiringi lagu Barisan Hadapan nyanyian Tigabedek.\nTonton persembahan di sini." "Pengarang yang Baik Umpama Pemimpin Sebuah Orkestra\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Seorang pengarang perlu menganggap dirinya umpama seorang pemimpin sebuah orkestra ketika mencipta sesebuah karya sastera. Sebuah orkestra yang amat memukau ialah gabungan begitu ramai pemuzik dengan pelbagai jenis alat muzik, dan dipimpin oleh seorang komposer yang berkemahiran tinggi. Kepakarannya dengan setiap irama, melodi dan nada yang terhasil daripada alat muzik yang dimainkan oleh setiap pemuzik membolehkannya menjadi komposer yang mampu memimpin orkestra. Kita boleh bayangkan bagaimana rumitnya tugas seorang komposer yang dipertanggungjawabkan memimpin sebuah orkestra.\nNamun, gabungan melodi yang dihasilkan oleh kumpulan pemuzik dalam persembahan orkestra tersebut pasti memukau sesiapa saja yang menontonnya. Orang yang bertanggungjawab menjadikan sebuah persembahan orkestra itu hebat dan menakjubkan tentulah komposer yang memimpinnya. Menurut Rosli K. Matari, dalam bengkel penulisan cerpen yang diadakan melalui saluran Google Meet pada malam khamis lalu, seorang cerpenis perlu meletakkan dirinya sebagai seorang pemimpin orkestra ketika menulis cerpen atau sajak. Betapa hebatnya lagu yang dihasilkan oleh para pemuzik dalam persembahan orkestra, begitulah juga bagusnya cerpen yang dicipta daripada penulis yang meletakkan dirinya sebagai komposer yang mengetuai orkestra. Rosli mengakui, begitulah dia meletakkan dirinya setiap kali ingin menulis cerpen atau sajak. Oleh sebab itu, kita dapat melihat kehalusan, ketelitian dan kedalaman penceritaan dalam kebanyakan sajaknya.\nPengarah DBP Wilayah Timur, Encik Mohd Azam Juhari ketika menyampaikan ucapan penutup dalam program yang sama, memberikan kata-kata yang memberangsangkan dan mengakui kepakaran Rosli sebagai pembimbing kerana bengkel tersebut tentunya akan memberi banyak manfaat kepada para peserta.\nMenurut Rosli, antara cabaran terbesar untuk menghasilkan sesebuah cerpen ialah bukan apa-apa yang hendak diceritakan tetapi cara hendak menceritakan sesebuah kisah itu agar menjadi cerpen. Menulis cerita kerana semata-mata ingin menyiapkan sebuah cerpen hanya akan menghasilkan sebuah \u201ccerpen yang biasa\u201d sahaja. Manakala menulis cerpen untuk mengemukakan cerita yang menarik untuk dibaca dengan memanfaatkan mana-mana unsur teknik penceritaan agar mendinamikkan cerita tanpa adanya unsur-unsur kelemahan dalam cerpen tentunya akan menghasilkan \u201ccerpen yang baik dan menarik\u201d untuk dibaca. Namun, apabila sesebuah cerpen itu ditulis dengan menghala ke arah keberkesanan emotif, cerita pastinya akan menghasilkan \u201ccerpen yang berkesan\u201d.\nMenurut beliau lagi, asas yang paling penting dalam sesebuah cerpen ialah konflik dan perkara yang paling menarik dalam setiap cerita pendek ialah klimaks atau disebut juga sebagai puncak penceritaan. Baginya, tiada cerita tanpa konflik. Jiwa sesebuah cerpen itu, menurutnya, ada lima perkara iaitu idea, imaginasi, taakulan, emosi, dan juga kebijaksanaan kepengarangan.\nAntara beberapa kelemahan dalam penulisan cerpen yang disenaraikan oleh Rosli termasuklah: (1) mempunyai terlalu banyak dialog, (2) penceritaan meleret yang semata-mata mementingkan cerita (3) serta mengandungi kesalahan ejaan dan tatabahasa. Penulis yang tidak mempunyai pengetahuan luas tentang perkembangan semasa aliran sastera dan mengejar kolum agar karya disiarkan sahaja juga akan menjadikan cerpen yang dihasilkan itu lemah. Setiap penulis juga perlu luas pembacaannya, mencakupi sastera kreatif, kritikan sastera, sastera dunia, dan disiplin bantu, termasuk mesti peka dan mempunyai ketajaman untuk sesuatu deskripsi yang dilakukan, agar dapat menghindar daripada mencipta sebuah cerita pendek yang lemah.\nBaginya, sesebuah cerpen yang baik juga tidak memerlukan campur tangan pengarang dalam setiap cerita yang ditulis, dan perlunya ketepatan dan keindahan bahasa apabila mengungkapkan sesuatu perkara. Pastinya sebagai pembimbing, beliau akan sangat gembira apabila munculnya penulis muda yang mampu mencipta karya yang halus dan berwibawa, hasil daripada didikannya yang sangat berseni dan teliti itu.\nKesanggupannya untuk menitipkan segala pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki selama lima siri bengkel tersebut berlangsung tentu saja merupakan satu kebertuahan yang jarang-jarang didapati. Satu keberuntungan untuk sastera Kelantan dan sekali gus terhadap sastera Malaysia juga pastinya." "Fiksyen Sains Proto Melayu dalam Cerita Lipur Lara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCerita lipur lara selalunya dianggap sebagai kisah dongeng yang kosong dan hanya bercerita tentang pengembaraan dan peristiwa aneh. Namun begitu, cerita lipur lara juga merupakan sastera lisan Melayu yang menarik perhatian orang Barat, sejak kurun ke-19 lagi.\nR.O. Winstedt mendakwa bahawa cerita lipur lara ialah fiksyen Melayu yang paling indah dan mengangkatnya sebagai \u201cthe cream of Malay fiction, because in them local colour takes the place of the tedious conventional description.\u201d\nDalam Anjung Kak Long ke-10 dengan tajuk \u201cFiksyen Sains dalam Cerita Lipur Lara\u201d, Nisah Haron membawa pelayar media sosial mengagumi kebijaksanaan orang Melayu yang sudah pun mewujudkan dunia fiksyen sains dalam cerita lipur lara. Hal ini menunjukkan cerita lipur lara bukan dongeng kosong tetapi sarat dengan pemikiran. Cerita lipur lara menjadi penanda aras bahawa orang Melayu itu genius, sepertimana pantun yang menjadi petunjuk keintelektualan.\nNisah Haron menekankan, pentingnya memahami fiksyen sains yang sebenar dan bagaimana fiksyen sains akhirnya menjadi satu penanda aras untuk melihat kehebatan orang Melayu. Dalam fiksyen sains, mesti ada novum (pembaharuan), sesuatu yang menjadi petunjuk yang belum wujud pada zaman semasa, namun tidak mustahil untuk berlaku. Novum membentuk tiang keanehan dalam cerita dan sesuatu yang harus dikesan dalam karya-karya fiksyen sains. Kehadirannya perlu dinilai untuk memberikan makna kepada pembaca. Novum menjadi garis penentu sama ada sesebuah karya itu fiksyen sains atau fantasi.\nFiksyen sains-proto Melayu terletak pada keanehan dalam cerita-cerita lipur lara yang mengandungi lapis makna yang tidak boleh ditafsirkan secara literal, kerana ceritanya sarat dengan pemikiran saintifik yang lebih terkehadapan daripada zamannya. Keanehan dalam cerita lipur lara berkait dengan latar zamannya kerana konsep-konsep jentera yang diperihalkan belum wujud, maka kesemuanya tidak mempunyai nama atau istilah khusus kerana kekurangan teknologi dan ilmu. Namun begitu, keinginan dan aspirasi untuk menciptanya berlaku, dan direalisasikan dalam cerita lipur lara yang menjadi asas pada fiksyen sains Melayu yang terawal.\nKeanehan-keanehan dalam cerita lipur lara yang dikaji membuktikan wujudnya konsep penerbangan, perubahan jisim dan atom, klon, aplikasi tanpa wayar, penunjuk laser, teropong, ledakan sonik, pencetak tiga dimensi, muat turun maklumat, dan kalis bunyi. Penglipur lara menggunakan alam atau binatang untuk memberi deskripsi kelajuan dan kepantasan objek dan manusia, seperti \u201cselaju burung terbang\u201d, \u201cbagai pucuk yang dilancarkan\u201d, \u201cbagai kumbang putus tali\u201d, atau \u201cseperti belut diketil ekor\u201d.\nPadanan demikian amat sesuai dalam konteks zamannya, yang memerlukan perbandingan pada objek-objek yang berada di dunia sekeliling orang-orang Melayu itu sendiri. Contohnya:\nSa-t\u011blah itu, sauh di-bongkar; layar pun di-tar\u011bk; b\u011blayar-lah g\u011bliong panjang itu: Bagai puchok di-lancharkan Bagai kumbang putus tali, G\u011bmuroh ayer di-linggi, G\u011bmuroh ayer di-s\u011bkat, S\u011bmbor-meny\u011bmbor liang kumbang, Tiang agong t\u011branggok-anggok Tiang topang imbas-m\u011bngimbas, Gada-gada lilit-m\u011blilit, Tidak t\u011brpada laju-nya g\u011bliong, Kalau tidak sama yang burong, Burong b\u011brsayap g\u011bliong b\u011brlayar.\n(Hikayat Awang Sulung Merah Muda:75)\nDalam cerita lipur lara, pengangkutan udara untuk ke kayangan sudah ada beberapa jenis konsep penerbangan, seperti kain layang (kegunaan individu untuk tujuan peribadi), kuda semberani (kegunaan individu untuk tujuan profesional), dan balai berjentera (kegunaan lebih daripada seorang). Konsep ini jika dipadankan dengan teknologi semasa, boleh dikatakan sebagai pesawat ringan, pesawat pejuang dan pesawat komersial. Dari segi pemikiran saintifik, masyarakat tradisi dalam cerita lipur lara digambarkan telah mengakui fungsi graviti kerana mereka perlukan sejenis \u201ckuasa\u201d untuk menolak manusia ke udara.\n\nContoh lain mengenai pengangkutan adalah dalam Hikayat Anggun Che Tunggal, kapal Petolo kapal Petolai dikatakan \u201csiang berbaju layang, malam berbaju rantai\u201d yang memberi gambaran sebuah kapal yang sangat laju dan mempunyai medan kuasa. Contoh-contoh ini menunjukkan fiksyen sains bukanlah suatu entiti asing yang wujud begitu sahaja, tetapi cerminan pada impian masyarakat zamannya.\nPesan Nisah Haron, \u201cBacalah dengan minda yang lebih terbuka dan hargailah kehebatan orang-orang tua kita, leluhur kita yang sebenarnya sedang menyampaikan sesuatu.\n\u201cAda mesej yang begitu rahsia dan misteri barangkali dalam mesej-mesej ini. Orang Melayu tidak suka membesar-besarkan diri, banyak yang diselindungkan.\u201d\nBeliau juga berharap agar pembaca dapat membaca cerita lipur lara dengan perspektif yang berbeza, bukan lagi melihatnya hanya cerita-cerita biasa.\nAnjung Kak Long ke-10 disiarkan secara langsung menerusi Twitter dan Facebook Nisah Haron pada 17 September 2021, pukul 9.30 malam.\nTonton Anjung Kak Long \u201cFiksyen Sains dalam Cerita Lipur Lara\u201d di sini.\nBeli Hikayat Awang Sulung Merah Muda dan Hikayat Anggun Cik Tunggal." "Roslan Madun: Lagu Rakyat Mekar di Tangannya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRoslan Madun ialah nama yang cukup dikenali dalam persada seni lagu rakyat Malaysia. Lebih 40 tahun beliau berjuang, bergulat dan menggenggam kukuh kesenian tradisi ini tanpa rasa jemu. Roslan tetap setia membawa genre yang tidak popular ini meskipun melalui fasa gembira, sunyi, kelam dan adakalanya disinari cahaya terang. Beliau tidak pernah berasa malu mempersembahkan dan memperdengarkan lagu-lagu rakyat kepada sesiapa sahaja kerana menyedari nilai warisan bangsa yang amat wajar dilestarikan.\nKegiatan seni budaya dan sastera ialah sumber ekonomi kendiri. Meskipun Roslan berlakon, mengarah teater, mengarah drama televisyen, dan adakalanya menjadi pengacara bagi rancangan tertentu, namun beliau tidak meninggalkan lagu rakyat. Inilah kecintaan murninya terhadap seni tradisi warisan bangsa. Beliau tetap setia menulis meskipun sudah berhenti daripada bidang kewartawanan, kerana sastera ialah kecintaan yang terpupuk lebih awal, iaitu sejak zaman persekolahannya.\nKata Roslan Madun, \u201cSaya berpegang pada tiga prinsip, iaitu seni sebagai jambatan silaturahim, seni ialah zat yang menyuburkan jiwa manusiawi, dan seni ialah anugerah yang tinggi nilainya, kurniaan Allah SWT.\n\u201cSaya terus mengembara dalam bidang seni dengan meneroka pelbagai cabang lagi. Di samping lagu rakyat, saya juga menyantuni puisi-puisi tradisional lain, terutamanya irama syair Melayu. Saya turut melibatkan generasi muda bersama, yang meliputi negara-negara serumpun juga.\u201d\nPada awal pembabitannya dalam lagu rakyat, Roslan Madun bergerak tanpa curiga bahkan kuat bersemangat. Terdapat juga insan yang menyuntik semangat perjuangan kepadanya, antaranya termasuk Allahyarham Tan Sri S.M. Salim yang pernah sepentas dengan beliau. Pesanan Allahyarham Tan Sri S.M. Salim tersemat kukuh di hatinya dan masih kekal diingati hingga kini.\n\u201cBeliau berpesan agar saya terus melestarikan lagu rakyat, kerana katanya, tidak ramai yang mahu bangkit dengan genre yang kurang mendapat perhatian ini,\u201d ujarnya.\nPengalaman bergulat selama kurang lebih 40 tahun menyaksikan betapa lagu-lagu rakyat telah diterima baik, meskipun tidak sepopular lagu kontemporari. Jiwa yang tepu dengan irama tradisional menarik langkah beliau untuk mendekati irama syair Melayu di Nusantara, yang bermula sekitar tahun 2005. Selepas itu, dijadikan lagu-lagu rakyat sebagai rakan karibnya pula. Kedua-dua genre ini \u2013 syair dan lagu rakyat \u2013 begitu serasi digandingkan bersama, malah mampu menjadi irama malar segar yang dapat menyemarakkan Alam Melayu.\n\u201cSyair pada masa ini agak menonjol, namun saya tidak pernah menyisihkan lagu rakyat yang terlebih dahulu menyerap dalam jiwa. Perkembangan ini telah memberi inspirasi kepada banyak komuniti yang diterajui oleh anak-anak muda di Indonesia, Brunei, Singapura dan di Malaysia.\n\u201cSelain radio Malaysia, syair dan lagu rakyat berkumandang di Radio Republik Indonesia (RRI) di Sumatera terutamanya. Malah, ada beberapa lagu rakyat daripada album saya telah dirakamkan semula oleh penyanyi di Dumai, Riau,\u201d jelas Roslan.\nKata Roslan lagi, Festival dan pertandingan yang memberi keutamaan pada lagu rakyat dan syair membuktikan bidang ini tidak lagi terpinggir. Malah, irama tradisi ini menjadi sangat indah jika diberikan pendekatan yang lebih kreatif. Buktinya, pertandingan dendangan syair sudah meluas pada peringkat sekolah, institut pendidikan guru, universiti dan juga secara umum. Pertandingan peringkat antarabangsa pula sudah memasuki tahun keempat pada tahun 2021. Hal ini menunjukkan kesenian tradisi tetap mempunyai masa depan.\nSebagai pengamal dan penyelidik, Roslan tidak pernah lelah memperjuangkan genre ini dan sentiasa bersifat versatil dengan apa-apa jua pendekatan dalam persembahannya. Penggunaan alat muzik moden misalnya, atau apa-apa jua elemen yang dirasakan sesuai dengan kemajuan teknologi dimanfaatkan sebaiknya. Bahkan, inilah tirai inovasi cetusan beliau dalam menyantuni pelbagai pendekatan secara relevan dengan situasi yang ditanggapi.\nLagu rakyat bukan sekadar sebuah nyanyian, tetapi mengandungi ciri-ciri kekuatan rohaniah yang mendekati kebenaran hakiki dalam liriknya.\nRoslan Madun ialah penerima anugerah Diploma Laureate of the II Degree dalam The International Contest of Folk Song Artists Voices of Ancient Cities, di Ryazan, Rusia pada bulan Ogos lalu. Beliau turut diundang sebagai wakil Malaysia ke Konsert Gala Ryazan Regional Philharmonic Hall pada 25 September ini. Namun untuk memenuhi undangan tersebut, hal itu tetap bergantung pada peraturan kesihatan (SOP), kerana segala yang dirancang boleh sahaja berubah pada saat akhir, memandangkan dunia masih berada dalam suasana pandemik.\n\u201cSaya mula merakamkan lagu rakyat ke dalam format cakera padat pada tahun 2002, diikuti dengan album-album lain, dan sehingga kini telah terbit 15 buah album. Sebelum itu, saya membuat persembahan dengan menepuk rebana secara tradisi. Lagu rakyat dipersembahkan di Singapura seawal tahun 1982 dalam program pertukaran belia Malaysia, Singapura.\n\u201cKemudian pada tahun 1989 saya membuat persembahan ketika menjadi peserta The International Youth Village di Fukuoka, Jepun. Seterusnya di Riau, Indonesia pada tahun 1991, diikuti pada tahun 1993, saya membuat persembahan di Teajon dan Seoul, Korea Selatan.\n\u201cSetelah rakaman album, lagu rakyat semakin mendapat tempat di radio, seperti Radio Klasik FM dan THR Gegar Pantai Timur. Lagu Lemak Manis masih dimainkan di radio, sudah hampir 20 tahun. Lagu Seloka Pak Kaduk pernah menduduki tempat keempat dalam Carta THR Gegar dan bertahan dalam carta itu hampir satu tahun,\u201d jelasnya.\nRoslan telah berusaha memanfaatkan teknologi instrumen moden dan ternyata, lagu rakyat mula digemari oleh golongan muda. Pembabitan mereka begitu ketara, terutamanya dalam lagu yang lebih santai.\nLagu Lemak Manis sangat digemari dan dinyanyikan oleh banyak golongan. Bahkan, menjadi fenomena kepada para buskers membuat persembahan di tempat-tempat terbuka. Sambutan daripada orang ramai juga amat memberangsangkan. Ternyata lagu ini telah memancing jiwa rakyat dan berjaya merakyatkan hampir kesemua lapisan masyarakat sehingga kanak-kanak juga, hanya kerana Lemak Manis sering dinyanyikan di majlis-majlis tertentu.\nInilah usaha berterusan yang dilakukan oleh Roslan Madun untuk memasyarakatkan irama tradisi, yang secara tidak langsung telah memupuk minat dan kecintaan kepada generasi muda terhadap dunia sastera. Hal ini demikian kerana lirik-lirik lagu rakyat amat dipengaruhi oleh karya-karya sastera. Penggunaan pantun terutamanya, begitu ketara dan memberi kesan emosi yang meresap ke dalam jiwa masyarakat dengan irama, lirik dan nilai sasteranya yang indah lagi segar.\nPenyebaran lagu rakyat dalam media sosial seperti Facebook, YouTube, Instagram, dan Tik Tok telah merancakkan perkembangan industri lagu rakyat. Kini, lagu-lagu ini dapat dinikmati oleh semua penonton dan peminat tempatan, malah boleh diakses dengan begitu mudah oleh negara jiran dan serata dunia.\n\u201cSaya sendiri tidak menduga bahawa lagu rakyat saya mendapat perhatian daripada pihak penganjur The International Contest of Folk Song Artists Voices of Ancient Cities dari Rusia. Seorang kawan di Moscow, Dr. Victor A. Pogadaev telah mencadangkan nama saya untuk dicalonkan mewakili Malaysia ke pertandingan tersebut.\n\u201cMelalui undangan rasmi dari kedutaan Rusia di Kuala Lumpur, saya menyahut cabaran tersebut. Pertandingan itu sempena sidang keempat, International Forum of Ancient Cities, UNESCO,\u201d jelas beliau.\nKata beliau lagi, Diploma Laureate of the II Degree yang dianugerahkan kepadanya sudah tentu memberikan inspirasi kepadanya agar lebih tekun mengangkat lagu-lagu rakyat ke peringkat antarabangsa. Besar harapan beliau agar kemenangan ini dapat dikongsi bersama, terutama kepada anak-anak didik dan pengamal lagu-lagu tradisional yang lain. Semoga menjadi pemugar semangat generasi muda yang ingin bergiat dalam bidang ini, sekali gus memberikan satu apresiasi kepada pencinta sastera.\nBeliau juga menegaskan bahawa kemenangan yang diperoleh bukanlah satu noktah terhadap perjuangannya, sebaliknya menjadi perjuangan identiti bangsa yang sentiasa mekar dan perlu diusahakan. Hal ini demikian kerana dalam lagu rakyat, ada pengukuhan sejarah, tamsil ibarat dan yang lebih penting, ada nilai agama yang mendasari hidup beliau secara peribadi. Beliau tetap bertekad akan meneruskan perjuangannya selagi mampu kerana beliau percaya, lagu-lagu rakyat dapat membentuk jati diri dan pekerti mulia generasinya.\nJelas Roslan lagi, \u201cSaya sedar betapa sukarnya lagu rakyat untuk bertapak kukuh, terutama di jiwa generasi muda. Namun ia ada kaitan dengan roh lagu rakyat itu sendiri yang sangat complicated dan sukar dihayati.\n\u201cLagu rakyat bukan sekadar sebuah nyanyian, tetapi mengandungi ciri-ciri kekuatan rohaniah yang mendekati kebenaran hakiki dalam liriknya. Gagasan dalam lirik lagu rakyat sebenarnya sangat serius untuk membina modal insan dan tamadun bangsa.\n\u201cSaya tidak menafikan ada lagu rakyat bersifat romantik dan santai, seperti lagu Lemak Manis. Mungkin penggunaan pantun kasih sayang dalam lagu itu yang menjadikannya bersifat demikian. Sewaktu awal-awal saya mempersembahkan lagu itu, saya telah menggunakan pelbagai tema pantun. Hanya dalam rakaman album, saya memetik tiga buah pantun karya Allahyarham T. Alias Taib yang sangat indah itu. Sehingga sekarang, jika saya menyanyikan lagu itu di depan khalayak, saya akan menukarkannya dengan pantun-pantun yang sesuai dengan audiens.\u201d\n\u201cLagu-lagu rakyat Melayu mempunyai dinamika berunsur sastera yang sangat ketara. Contohnya, lagu Indong-indong yang bercerita tentang kehebatan keris. Jika ditikam dan kesan jejaknya di tanah, maka orang itu akan mati juga walaupun sudah tiada di tempat itu. Setitik darah jatuh ke darat maka setahun padi tak menjadi, jika setitik darah jatuh ke laut, setahun ikan tak bermain. Metafora yang bersifat personifikasi dalam lirik lagu itu menjamin kelangsungan sastera rakyat yang sememangnya penuh dengan nilai artistiknya,\u201d tambah beliau.\nKata beliau lagi, lagu rakyat juga sangat berkait dengan emosi. Tidak semua lagu rakyat boleh didendangkan secara santai. Misalnya, lagu Wanangseri yang mengisahkan sejarah seorang puteri Pahang bernama Wanangseri, yang berlindung diri di Jeram Ampai kerana diburu oleh hulubalang Melaka untuk dikahwinkan dengan Raja Melaka. Lagu tersebut akan menjadi hambar dan tawar jika dinyanyikan tanpa menyelami perasaan sang puteri.\nAda juga lagu bersifat spiritual seperti Ulik Mayang, namun tetap indah dan lunak didengari kerana nilai budaya dan elemen hiburan yang diserapkan ke dalamnya, sekali gus mengangkat nilai sastera dan sosiobudaya masyarakat yang saling melengkapi dan mewarnai seni warisan Melayu.\n\u201cSaya tetap berasa bertuah kerana dari 53 buah negara yang menyertai pertandingan ini, Malaysia telah mendapat second degree. Hal ini memberi inspirasi kepada saya untuk terus melestarikan lagu rakyat terutamanya di Pahang.\n\u201cLagu rakyat ada komunitinya yang tersendiri. Mereka sentiasa menantikan lagu-lagu baru untuk dinikmati. Saya tidak boleh menghampakan mereka yang selama ini menyokong saya, sekali gus menyokong perkembangan lagu rakyat sehingga keberadaannya sekarang,\u201d ujar Roslan mengakhiri bicaranya.\nIkuti laman rasmi Roslan Madun, Raja Syair Nusantara di sini.\n_________________________\nSidang editorial Dewan Sastera mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan Roslan Madun mengharumkan nama Malaysia dengan pengurniaan Diploma Laureate of the II Degree dari Rusia." "Hubungan Akrab Kepandiran Sains dan Kebejatan Sastera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKolumnis Rem Dambul memberikan peringatan agar penulisan sastera yang kreatif tidak mengabaikan nilai sains yang bergantung pada pemerhatian terhadap fakta.\nKarya sastera yang bermaruah harus mencerahkan realiti, bukan menggelapkannya.\nDalam siri pertama kolum ini, saya menulis tentang dikotomi pendidikan negara yang memisahkan sastera dan sains mengikut kasta aliran masing-masing. Hal ini mengakibatkan pengembangan kurang harmoni antara daya logik (otak kiri) dengan seni kreatif (otak kanan). Maka, saya hujahkan bahawa dikotomi ini sebenarnya boleh menghasilkan ketidakseimbangan pemikiran, yang secara sengaja menentang falsafah pendidikan itu sendiri.\nKali ini, diskusi daripada diagnosis yang sama dilanjutkan kepada isu yang lebih genting, iaitu wujudnya hubungan akrab antara kepandiran sains dengan kebejatan sastera. Dalam situasi-situasi tertentu, kelemahan menghadam logik sains mampu menjerumuskan karya sastera ke markat yang sumbel.\nSaya ingin kaitkan perkara ini dengan pengalaman personal; menerusi pembacaan kasual karya-karya sastera mahupun ketika proses pewasitan manuskrip. Terdapat kelompok penulis yang tidak peduli pada fakta empirikal. Mereka menyangka bahawa sastera, sebagai ciptaan fiksyen, dibolehkan menerawang dalam dunia fantasi tanpa batasan.\nSastera yang baik bukan sahaja perlu menawarkan kelegaan emosi dan gratifikasi mental menerusi keindahan susastera dan cerita. Ia juga harus memberi informasi dan ilmu yang tepat kepada pembaca. Sepatutnya hanya watak, peristiwa dan plot sahaja yang bersifat imaginasi. Tetapi latar belakang masa (sejarah) dan ruang (geografi) mestilah patuh pada hukum alam yang masuk akal. Pengecualian hanya pada karya sastera yang ditulis secara implisit dalam domain genre magis.\nSaya pernah membaca karya realisme tentang sebuah komuniti nelayan di utara Sabah, yang dikisahkan berdepan cabaran monsun utara pada pertengahan tahun. Sedangkan angin kencang ini cuma berlaku antara bulan November hingga Mac. Ada juga penulis yang menghasilkan cerpen tentang \u201cWhite Christmas\u201d (Hari Natal yang bersalji) di New Zealand. Padahal perayaan ini disambut hanya pada musim panas di hemisfera selatan.\nBarangkali penulis terpengaruh dengan paparan suasana Krismas dalam filem-filem Barat produksi Eropah dan Amerika, yang lazimnya berlatarkan hemisfera utara. Pengabaian prinsip asas sains klimatologi seperti dalam contoh-contoh karya yang disebut ini, pada hemat saya mencabuli kehormatan sastera. Seolah-olah kesusasteraan menghalalkan pendustaan fakta.\nSaya juga pernah meneliti karya tentang gejala sosial yang akhirnya menyebabkan watak antagonis dijangkiti HIV. Tetapi dalam tulisan tersebut, penggunaan terminologi HIV dan AIDS bertukar ganti secara semberono. Sedangkan dalam bidang perubatan, kedua-duanya amat berbeza. HIV merujuk virus yang menjadi punca penyakit. Manakala AIDS ialah penyakit yang diterima oleh penghidap sebagai akibat jangkitan virus tersebut.\nGejala pada tubuh (misalnya kenampakan kudis) hanya muncul pada penghidap AIDS. Seseorang yang dijangkiti HIV tidak semestinya menunjukkan sebarang tanda-tanda fizikal yang boleh dilihat oleh mata kasar. Apabila dua istilah ini tidak digunakan dengan konteks yang betul, kekeliruan akan timbul dan boleh merencat usaha-usaha meningkatkan kesedaran tentang masalah kritikal ini.\nSeorang penulis senior dengan defensif menyanggah: \u201cKenapa semua penulis perlu tahu perkara teknikal ini? Saya sendiri pun tidak tahu perbezaan HIV dan AIDS, sebab saya bukan doktor!\u201d Ya, betul. Tiada keperluan untuk semua penulis memahami maklumat ultra spesifik begini. Tetapi, bagi mereka yang berhajat mahu menulis tentangnya, menjadi jahil bukan satu pilihan yang boleh dimaafkan. Aktiviti persuratan bukan sekadar hak peribadi, tetapi juga keterikatan kepada tanggungjawab sosial. Karya sastera yang bermaruah harus mencerahkan realiti, bukan menggelapkannya.\nPantun yang benar-benar patuh pada nuansa tradisi sepatutnya tidak akan melakukan penyimpangan daripada citra sebenar kehidupan manusia yang munasabah.\nSatu lagi kebejatan sastera yang agak menggila sekarang ini, sering berlaku dalam penulisan pantun. Ramai yang mengarang tanpa berpandu lunas yang betul, terutama sekali pada baris pembayang. Hanya elemen rima yang dipentingkan, malah kadangkala terlalu dilebih-lebihkan. Sedangkan inti pati dan makna langsung tidak diberikan perhatian.\nCONTOH PERTAMA\nSirih junjung ikat bertali, Untuk hantaran adat warisan;\nSederap menjunjung amanat Duli, Menunjuk jalan mengukuh wawasan.\n(Facebook rasmi DBP, 2021)\nKenapa ada orang meletakkan tali berikat pada sirih junjung? Hal ini tidak masuk akal kerana perbuatannya dibawa dengan cara dijunjung di kepala, atau dipegang di atas dulang. Bukan dijinjing atau ditarik atau digantung dengan menggunakan tali. Apabila pengamatan seseorang tidak persis, maka muncul fantasi tidak masuk akal seperti ini. Inilah isu deria empirikal yang logiknya diselewengkan.\nCONTOH KEDUA\nKerak hijau di cabang pauh, Turun merentas di tangkai padi;\nMakin ditinjau makin jauh, Berasa nak rentas si tangkai hati.\n(Studio Pesona DBP, 2021)\nBagaimana pula kerak boleh berada di cabang pauh, kemudian mampu pula berjalan turun ke tangkai padi? Tidak ada prinsip sains botani yang boleh menjelaskan kepelikan ini. Begitu juga, personifikasi manusiawi untuk alam benda seperti ini, jelas menyalahi hukum penulisan pantun. Sekali lagi, hal ini berkait dengan masalah deria logik yang pincang. Terlalu gemar berkhayal melepasi landasan dunia hakiki.\nRamai yang terlupa bahawa pantun ialah cerminan realiti alam sekitar dan norma sosiobudaya masyarakat dalam lingkungannya diciptakan. Maksudnya, pantun yang benar-benar patuh pada nuansa tradisi sepatutnya tidak akan melakukan penyimpangan daripada citra sebenar kehidupan manusia yang munasabah.\nSaya membuat kajian koleksi pantun lama untuk latihan ilmiah bidang pengajian geografi di Universiti Malaya pada tahun 1994. Saya menyurih semula dengan jayanya landskap fizikal dan pola sejarah bumi Nusantara beratus-ratus tahun dahulu, hanya dengan menganalisis kandungan pantun-pantun tradisional. Inilah satu bukti betapa pantun terbaik yang dianggap klasik, semestinya mendukung dengan teguh nilai-nilai logik sains semesta.\nYa, tidak dapat disangkal lagi. Kepandiran sains yang sengaja tidak disembuhkan, boleh membawa kepada kebejatan sastera yang kronik.\n_________________________\nRem Dambul atau nama sebenarnya Ramzah Dambul (Dr.) ialah seorang sarjana bidang sains atmosfera; yang gemar berpuisi, melukis dan berfantasi. Dalam dunia utopia, dia seekor murai sastera yang selalu berkicau di perbatasan sains. Antara karya bukunya termasuklah kumpulan puisi Alien Menchari Chinta (ITBM, 2012; Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012/2013),\u00a0Deja Vu Cinta Pencari Katarsis (ITBM, 2014), Dari Cinta kepada Cinta (ITBM, 2015), dan memoir perjalanan Bukan Travelog Haji di Bumi Anbia (Studio Anai Anai, 2017)." "Adab dalam Kemerdekaan Diri Insani\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSerdang \u2013 Adab merupakan perkara yang diberikan penekanan serius dalam kehidupan manusia. Para ilmuwan Islam sering berpesan tentang kepentingan adab. Misalnya, Imam Malik r.a. dengan mafhum hadis berkata, \u201cPelajarilah adab sebelum mempelajari sesuatu ilmu.\u201d Kepentingan menjaga adab adalah bertujuan untuk memudahkan setiap urusan manusia, khususnya dalam usaha menuntut ilmu.\nSetelah 64 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan, masih kedapatan unsur-unsur yang secara tidak sedar merosakkan daya fikir, amalan dan tindakan individu dan masyarakat, yang berpunca daripada kebejatan adab dan kefahamannya. Maka dengan itu, Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia mengambil inisiatif mengadakan Webinar Bicara Ilmu \u201cAdab dan Makna Kemerdekaan Diri Insan di Malaysia\u201d pada 15 September yang lalu.\nPenceramahnya, Yang Berbahagia Profesor Dr. Wan Mohd. Nor Wan Daud, Penyandang Kerusi Pemikiran Islam Syed Muhammad Naquib al-Attas, juga pengasas dan mantan Pengarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofia (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia berkata, \u201cAdab ialah manifestasi keadilan yang terjelma bersumberkan hikmah. Orang yang beradab atau bangsa yang beradab akan memancarkan keadilan dalam semua tindakannya, berasaskan undang-undang dan bersumberkan ilmu dari tempatnya yang sebenar.\u201d\nJusteru, adab ialah ilmu yang diberikan kepada pemiliknya, suatu pengetahuan terhadap tempat sebenar sesuatu perkara, dan amalan yang menuruti ilmu tersebut. Oleh itu, jika pengetahuan tentang sesuatu perkara diselami dan diamalkan dengan betul, adablah yang merukuni hidup manusia di atas muka bumi ini.\nAdab dalam Perlembagaan Negara yang menunjangi prinsip hidup masyarakat Malaysia juga dapat diletakkan sebagai sumber rujukan bangsa untuk hidup bersama dengan harmoni, jika tidak dipengaruhi oleh kepentingan politik. Selagi Perlembagaan dipengaruhi oleh kepelbagaian keinginan politik, maka kemerdekaan hanyalah disebut-sebut secara literal sahaja, sedang hakikatnya, kita terbelenggu oleh anasir-anasir yang merosakkan adab dalam kehidupan.\nPerluasan makna adab dapat dilihat apabila kita meraikan kepelbagaian agama. Misalnya, agama Islam yang berkembang dan memancarkan budaya keilmuannya secara baik. Meskipun ia bersifat dominan tetapi tiada diskriminasi terhadap agama lain. Bahkan, ada tempat untuk penganutnya beramal dengan agamanya. Lantaran itu, terbina kepelbagaian dalam kesatuan kerana saling meraikan dan saling menghormati antara satu sama lain.\nAdab juga dapat dilihat dalam pembinaan konteks bahasa Melayu. Tempat ibadat bagi orang Islam dipanggil masjid, manakala tempat ibadat bagi orang Kristian dipanggil gereja. Istilah-istilah seperti Allahyarham, Allahyarhamah dan Mendiang misalnya, merupakan satu pengiktirafan dan tanda penghormatan. Justeru, bahasa memainkan peranan penting dalam mengiktiraf kepelbagaian agama, etnik dan amalan budaya. Meski berbeza agama dan bangsa, mencari kesatuan dalam kepelbagaian adalah dituntut.\nSetiap tradisi agama dan bangsa ada tokoh-tokohnya yang dikagumi. Demikian itu, kepentingan beradab ditekankan oleh semua agama dan dilarang meremehkan Tuhan terhadap agama-agama lain, kerana akan menimbulkan persengketaan. Maka, wajarnya penekanan tentang adab dititik beratkan supaya keadilan sesama manusia tercapai dengan jaya. Hal ini bertepatan dengan seruan Allah SWT dengan mafhum ayat yang menyeru supaya mengelakkan kebencian terhadap sesuatu kaum, kerana hal ini akan membuatkan manusia tidak berlaku adil.\nDalam konteks meraikan kepelbagaian ini, tidak lupa juga harus ditelusuri kepentingan adab terhadap pemimpin, selagi tidak membawa kemudaratan kepada rakyat. Sepertimana rakyat meraikan kepelbagaian pemimpin, maka dengan itu para pemimpin juga perlu meletakkan rakyat di tempat mereka, supaya amanah kepimpinan dapat dijalankan dengan sebaiknya.\nKebebasan fizikal bukan secara mutlak andai pemikiran dan cara hidup masih terjajah. Pembebasan terhadap penjajahan ekonomi, sistem perundangan dan bahasa juga sangat perlu dipandang serius. Kesan penjajahan membuktikan negara Malaysia masih terikat dengan unsur-unsur yang menghalangi masyarakatnya untuk keluar daripada sekatan ekonomi. Justeru, adab dalam konteks kemerdekaan wajar dipandang sebagai simbol keadilan kerana masyarakat perlu mengatur kehidupan dan tatacara diri dengan adil. Jika masih bergantung pada tatacara dan sistem penjajahan, maka tanpa sedar, tatacara hidup kita juga dipacu oleh penjajah.\n\u201cKita boleh menerima perubahan, namun tidak sampai merosakkan akal fikir, budaya dan tradisi. Inilah yang dinamakan sebagai pergerakan teguh (dynamic stabilism). Harus bertindak secara tidak berlebihan dan jangan pula menerima semua perkara sehingga akhirnya menjadi terlalu liberal. Juga, jangan pula tidak mahu langsung menerima perubahan kerana hal ini mencetuskan pergerakan yang tidak teguh, sekali gus menggugat keharmonian hidup,\u201d ujar Prof. Wan Mohd. Nor.\nTambahnya lagi, \u201cDominant trend ialah naratif dunia dekad ini. Misalnya, orang-orang yang menguasai kewangan, media sosial dan mempunyai tempat dalam kuasa besar. Mereka tidak ramai tetapi sangat mendominasi cara hidup manusia. Di sinilah kita berperanan agar kembali kepada keadilan yang bertunjangkan ilmu dan hikmah, barulah nikmat kemerdekaan mendapat kepentingan majoriti yang mendominasi.\u201d\nPada akhir webinar, moderatornya Prof. Madya Dr. Mohd Zariat Abdul Rani, Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, mengangkat persoalan penonton yang berbunyi: apakah adab mengurus negara? Lalu dijawab nakal oleh Prof. Wan, \u201cBertanyalah kepada Perdana Menteri kerana saya bukan si pemimpin.\u201d\nNamun pada akhirnya, beliau mengulas bahawa adab mengurus negara perlulah tahu akan tanggungjawab mengurus diri sendiri dan keluarga terlebih dahulu. Barulah ilmu tentang adab mengurus negara itu dapat diamalkan dalam kerja mentadbir negara, kerana ramai manusia yang berilmu tetapi biadab pada ilmunya kerana tidak beramal dengan ilmu yang dimilikinya.\nTonton webinar penuh di sini." "Gelora Imaginasi Sasterawan Sabah Azmah Nordin (Bhg. 1)\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nProfesor Madya Dr. Hajah Asmiaty Amat mengupas perjalanan dan cara Azmah Nordin \u201cmenongkah lumah\u201d untuk mencitrakan kepengarangan dan pengkaryaannya yang unik. Reaksi ini merupakan bahagian yang pertama.\nAzmah hadir tepat pada masa, menempatkan dirinya di ruang yang belum diisi oleh penulis-penulis tersebut, malah oleh penulis wanita di Malaysia ketika itu.\nAzmah Nordin dilahirkan pada 10 Januari 1958 di Kulim, Kedah. Beliau merupakan anak keempat pasangan Allahyarham Nordin bin Ahmad dan Jamilah binti Jahidin. Almarhum ayah Azmah merupakan seorang polis, menyebabkan keluarganya sering berpindah mengikut lokasi ayahnya bertugas. Azmah bertemu jodoh dengan seorang anak jati Sabah bernama Hussain bin Dato\u2019 Haji Othman pada tahun 1972, dan bermulalah kehidupan Azmah sebagai \u201corang Sabah\u201d ketika mereka menetap di Kota Kinabalu.\nPasangan ini dikurniakan tiga orang anak. Selain bertugas sebagai suri rumah dan menjaga keluarga, Azmah pernah bertugas sebagai wartawan bebas dan mula berjinak-jinak dalam penulisan rencana. Selain mendengar muzik instrumental, Azmah gemar membaca karya Inggeris, terutamanya karya Stephen King. Dalam kalangan rakan-rakan dan kenalan, Azmah merupakan seorang yang pemalu dan pendiam tetapi mudah mesra. Kematian salah seorang anaknya, iaitu Zulkarnain yang ketika itu berusia 10 tahun merupakan satu episod duka yang dialami oleh seorang ibu, lalu beliau tercari-cari perkara yang boleh mengurangkan kesedihannya.\nTentu sahaja menulis bait-bait kata mampu dijadikan terapi bagi diri seseorang. Azmah juga pernah cuba menulis puisi, tetapi beliau sedar bahawa beliau lebih minat dalam penulisan naratif. Ajakan rakan-rakan membuatkannya tergerak hati untuk membuka diri dan keluar dari ruang selesa di rumah. Beliau mula mengikut bengkel-bengkel yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka bersama-sama dengan rakan-rakannya, Obasiah Haji Usman dan Sitti Rahmah G. Ibrahim, yang ketika itu sudah berjinak-jinak dalam dunia penulisan.\nPada pertengahan tahun 1980-an hingga pertengahan tahun 1990-an, DBP Cawangan Sabah dengan kerjasama ibu pejabat DBP dan universiti awam sangat giat melaksanakan bengkel-bengkel penulisan dan membawa pembimbing dari Semenanjung Malaysia, seperti Allahyarham Othman Puteh, Sahlan Mohd. Saman serta sasterawan seperti Anwar Ridhwan dan A. Samad Said. Pada masa itu, Sabah memiliki penulis budayawan yang terkenal, iaitu Ismail Abbas (Amil Jaya) yang juga pernah bertugas sebagai Pengarah DBP Sabah. Pegawai-pegawai DBP pada masa itu juga sangat mendukung penghasilan karya daripada pengarang-pengarang muda, seperti Azmah dan yang lainnya.\nSetelah beberapa siri bengkel yang diikuti, Azmah berjaya menulis dan menghantar cerpen pertamanya yang berjudul \u201cBosan\u201d dalam majalah Wadah. Cerpen tersebut terbit pada bulan Oktober 1986. Seterusnya, beliau menulis cerpen \u201cLimbai\u201d dan cerpen \u201cLintasan Kasih\u201d. Salah seorang editor DBP Sabah, iaitu Matlin Dullah, telah melihat bintang yang bersinar dalam diri Azmah. Semasa dalam sebuah bengkel penulisan, Matlin telah memujuk dan menasihati Azmah untuk menulis novel. Azmah pun memberanikan diri menulis sebuah manuskrip novel di samping meneruskan penulisan cerpen dalam majalah Wadah ketika itu. Kemunculan Kukui yang diterbitkan pada tahun 1988 membuktikan bahawa beliau seorang yang bukan sahaja berbakat, malah bersungguh-sungguh dalam bidang penulisan. Dorongan yang kuat dalam dirinya sendiri dan sokongan keluarga dan rakan-rakan menyuntik semangat Azmah untuk terus berkarya.\nMengarang mula jam lapan atau sembilan pagi, hingga lewat petang. Dari petang ke petang, langsung ke malam.\n(Mingguan Watan, 1995:23)\nKegigihannya ini turut dikongsikan oleh beliau apabila menyatakan:\nSaya tidak akan dapat memfokuskan kepada perkara lain sehinggalah sebuah karya dapat disiapkan. Saya akan masuk ke dalam bilik dan memfokuskan kepada permasalahan yang melanda watak-watak dalam karya yang bakal diciptakan.\nKegigihan dan semangat yang berkobar-kobar itu menjadikan namanya bukan sahaja terlakar dalam sejarah penulisan di Sabah, tetapi disebut-sebut oleh pengkaji. Ketika itu, penulis wanita yang aktif di Malaysia boleh dibilang dengan jari. Penulis wanita Sabah yang aktif hanya ada Sairah Antin (teater/puisi), Zaiton Ajmain (puisi), Mariam Omar (puisi dan cerpen), Obasiah Haji Usman (cerpen dan novel), dan Sitti Rahmah G. Ibrahim (cerpen dan novel). Kedudukan penulis wanita bagi genre novel dan cerpen tidak begitu kuat apatah dapat dibanggakan. Dengan kata lain, Azmah hadir tepat pada masa, menempatkan dirinya di ruang yang belum diisi oleh penulis-penulis tersebut, malah oleh penulis wanita di Malaysia ketika itu.\nTeknik Azmah\nSaya tidak mempunyai kelulusan tinggi. Sebagai seorang pengarang, saya kena bekerja dengan lebih kuat untuk mencapai taraf sama dengan orang lain atau sekurang-kurangnya tidak ketinggalan.\nAzmah sedar beliau tidak berpelajaran tinggi dan tidak boleh bergantung pada bakat semata-mata. Azmah juga sangat sedar bahawa beliau bukan anak jati Sabah dan perlu mencari kelainan, belajar dan menggali sumber untuk dijadikan bahan dalam karyanya. Justeru, beliau berusaha berlipat kali ganda dengan membuat penyelidikan di perpustakaan dan menemu bual orang yang tahu tentang adat-adat peribumi. Pengalaman hidup dalam persekitaran Sabah yang kaya dengan pelbagai etnik, budaya dan kepercayaan diolah dan diangkat sebagai latar masyarakat dalam karya-karyanya. Sebagai pemerhati yang tekun, beliau mengolah dan mencerna fenomena yang berlaku dalam persekitaran masyarakat.\nPenelitian tentang budaya benda, adat tradisi dan istilah-istilah budaya suku kaum di Sabah, seperti Bajau, Murut, Rungus, Dusun, dan Brunei diterapkan secara meluas dalam cerpen dan novelnya. Unsur warna tempatan yang pelbagai rupa dan ragam ini menjadi satu kelebihan bagi penulis Sabah, termasuk Azmah.\nPersoalan tentang adat berian (hantaran) dan sogit (denda) yang diyakini oleh masyarakat Murut di Sabah diangkat menjadi mauduk yang menarik dalam cerpen \u201cSingkowoton\u201d, novel Kukui dan Dukanya Abadi. Isu berkenaan budaya memburu kepala dan berian sampai mati yang menjadi identiti masyarakat Murut sangat menarik sehingga novel itu tampil sebagai sebuah novel yang dapat menyamai kredibiliti dan kepopularan novel Bagaton karya Ismail Abbas. Kebijaksanaan Azmah ini wajar dipuji kerana mampu mengalihkan perhatian masyarakat pembaca daripada terpaku kepada novel unggul Ismail Abbas tersebut. Dengan kata lain, Azmah ialah pengarang yang tidak lahir di Sabah, tetapi mampu mengangkat tema bernuansa lokal Sabah sebagai satu identiti dalam karyanya. Lenggok bahasanya yang baik, malah diciptakan kosa kata berganda menjadi trademark Azmah. Semua ini menjadi ciri-ciri menarik yang meletakkan Azmah setingkat daripada penulis lain ketika itu.\nSelain penonjolan identiti budaya Sabah, Azmah juga sangat meminati cerita rakyat yang dimiliki oleh peribumi Sabah. Tanpa mengetepikan cerita lama yang sebenarnya memberi satu ruang berimaginasi, Azmah mengolah kembali atau menjadikan cerita rakyat, terutama yang melibatkan tokoh-tokoh penting dalam sejarah Sabah sebagai latar ceritanya.\nKehadiran Timulak Kapal Perang (1989), Pejuang di Bawah Bayu (1990), Dewi Labu Kundur (1992), Bantogen (1999), dan Puteri Delima (2009) membuktikan minatnya dalam memahami, mentafsir dan memugar cerita-cerita rakyat Sabah. Garapan cerita rakyat yang disuntik dalam karya beliau ini bukan sahaja menarik minat golongan remaja dan memberi sumber pengetahuan kepada kanak-kanak untuk membaca karya sastera. Beliau juga sering kali menggalakkan anak-anak muridnya untuk menulis cerita kanak-kanak dan remaja bersandarkan cerita rakyat etnik masing-masing.\n\nPada peringkat awal pembabitan Azmah, diperhatikan beliau gemar menyuntik isu domestik berkenaan perlecehan gender. Beliau menampilkan watak-watak wanita yang terpasung dalam tatanan adat etnik peribumi, terutama yang melibatkan perkahwinan. Sungguhpun persoalan ini mirip dengan isu yang dibawakan oleh sesetengah penulis wanita lain, tetapi persoalan tentang adat budaya yang mengikat wanita dalam ruang domestik disimbolkan oleh Azmah dengan lambang-lambang khusus yang dimiliki oleh etnik peribumi, sehingga menonjolkan identiti kepengarangan Azmah. Pengarang ini juga tidak berlama-lama membiarkan wanitanya hanyut dalam gelora air mata. Dalam satu tempoh masa, Azmah mengubah hala tuju dengan penonjolan wanita yang kuat dan berani berhadapan dugaan yang lebih mencabar. Tetap berpegang pada penonjolan watak wanita peribumi, Azmah tampil dengan membawa wanitanya ke ruang awam yang berani berhadapan dengan kecaman, pandangan serong serta sifat pesimis masyarakat, terutamanya lelaki. Watak-watak wanita Azmah menerusi Dari dalam Cermin, Menongkah Lumrah, Syumul, Pantai Kasih, dan Mega Nisaa tidak lagi hanyut dan lemas dalam air mata sebagaimana yang tergambar menerusi Kukui, Debur Menerpa dan Dukanya Abadi. Demikian juga watak wanita dalam cerpennya yang bergerak dinamik bersama misi dan visinya sebagai pengarang wanita yang ingin meletakkan wanita pada satu kedudukan yang lebih bermaruah dan terhormat.\nSelain watak wanita yang ditonjolkan berlatarkan wanita peribumi, penojolan persoalan dan pencitraan karyanya menunjukkan daya persaingan yang sangat memukau. Azmah membawa pembaca meneroka ruang umum yang rencam dan dinamik. Persoalan-persoalan dalam karya Azmah walaupun ditunjangi oleh \u201cwanita dan kewanitaan\u201d, tetapi dilatari dengan persoalan yang lebih global, sungguhpun masih menggunakan unsur glokal.\nDengan gaya penghasilan karya sedemikian, Azmah bukan sahaja cuba menampilkan kepelbagaian, tetapi mengekalkan citra budaya dan sosial masyarakat Sabah yang bervariasi, malah sekali gus beransur-ansur meninggalkan tradisi penghasilan karya yang bersandarkan pada pengalaman diri pengarang semata-mata. Azmah juga diakui sebagai seorang pengarang yang banyak memasukkan fenomena baharu, latar dan watak-watak baharu dalam konteks karya yang dihasilkan oleh pengarang, khususnya pengarang wanita. Usaha ini membolehkan pengarang ini mencipta jalur baharu yang lebih mencabar, rumit dan mengutamakan keperluan \u201cilmu dalam berkarya\u201d.\nDunia perubatan, ekonomi, katering, perhotelan, dan teknologi maklumat menjadi ruang publik yang mendedahkan wanita-wanita ciptaan Azmah dengan pelbagai muslihat dan kebijaksanaan yang jika tersalah langkah, mengundang natijah yang fatal. Dengan kata lain, pencitraan watak wanita Azmah sungguhpun kelihatan lebih berani, cerdik, garang, dan menyerlah, tetapi pada masa yang sama, ia tetap memperlihatkan ciri-ciri wanita Timur sejati, lebih-lebih lagi bagi citra wanita Muslim. Pendek kata, nama Azmah bukan sahaja melonjak sebagai seorang pengarang yang tekun lagi produktif, malah pengarang ini dikatakan mempunyai kekuatan yang tersendiri. Karyanya sarat dengan emosi dan citra seorang pengarang wanita yang ingin berjuang bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi untuk masyarakatnya.\nBaca Bahagian Kedua Reaksi |\nGelora Imaginasi Sasterawan Sabah Azmah Nordin (Bhg. 2)\n\n_________________________\nAsmiaty Amat (Prof. Madya Dr. Hajah) ialah Pengarah Penerbit UMS dan Profesor Madya di Gugusan Pengajian Liberal, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah. Beliau banyak menghasilkan makalah ilmiah dan kritikan sastera untuk pelbagai persidangan dan jurnal kesusasteraan. Asmiaty ialah penulis buku kajian Menyingkap Gejolak Rasa dan Citra Azmah Nordin (2018)." "Kedangkalan Penggiat Sastera Veteran: Kritik Terhadap Forum Sastera (Bhg. 2)\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNur Adilla dan Hazman Baharom memberikan kritikan terhadap Wacana PENA yang ke udara baru-baru ini tentang penggolongan penulis mengikut latar gender. Reaksi ini merupakan bahagian yang kedua dan terakhir.\nApi di dapur lebih marak daripada api kecil di hujung silinder putung rokok picisan di tangan lelaki .\nIsu Domestik lwn. Isu Besar yang Lebih Penting\nSeterusnya, dalam pembahagian kategori (ii), para panelis tidak kritis langsung dengan andaian bahawa \u201cisu domestik\u201d dengan \u201cisu tidak domestik\u201d perlu dibezakan, kemudian ditambah lagi dengan andaian bahawa \u201cisu tidak domestik\u201d adalah lebih penting daripada \u201cisu domestik\u201d untuk diketengahkan dalam penulisan seorang pengarang. Hal ini dibuktikan dengan persetujuan semua panelis secara jahar bahawa untuk seorang pengarang perempuan meningkat maju, dia perlu \u201ckeluar\u201d daripada kepompong \u201cisu domestik\u201d semata-mata. Ada dua masalah di sini: satu, \u201cisu domestik\u201d hakikatnya adalah sama penting dengan \u201cisu bukan domestik;\u201d dan dua, nasihat untuk keluar daripada kepompong isu domestik itu barangkali merupakan antara nasihat terburuk dalam sejarah kesusasteraan dunia.\nApabila para panelis membahagikan kedua-dua isu antara \u201cdomestik\u201d dengan \u201cbukan domestik,\u201d ia menuntut takrif. Malangnya, tiada seorang pun menawarkan pentakrifan yang memuaskan, walaupun sedikit. Jadi, kami mengandaikan para panelis memaksudkan \u201cisu domestik\u201d sebagai \u201cisu-isu dalam rumah tangga, seperti hubungan suami isteri, ibu bapa dan anak-anak, kerja-kerja rumah, seperti membasuh pakaian, memasak, menjaga anak, mengemas rumah, dan segala yang terangkum dalam batas empat penjuru dinding rumah itu sahaja.\u201d Kemudian, isu \u201cbukan domestik\u201d pula kami andaikan dimaksudkan sebagai keterbalikan daripada \u201cisu domestik\u201d tadi, yakni segala hal di luar batas dinding rumah.\nPada hakikatnya, dalam semua masyarakat di dunia, isu domestik adalah sama penting dengan isu bukan domestik. Jika dilihat dengan teliti, segala yang berlaku di dalam rumah tangga antara suami dengan isteri, hubungan ibu bapa dengan anak-anak, malah kerja-kerja memasak di dapur sekalipun adalah politikal. Segala yang domestik adalah political, dan hal ini bukannya perkara baharu, lagi-lagi dalam sastera dan kesarjanaan sains sosial seluruh dunia.\nLihat saja pada kesan-kesan berantai kefahaman agama dan budaya yang dominan dalam layanan suami terhadap isteri dan anak-anak di rumah, misalnya. Atau ketetapan undang-undang negara tentang gaji minimum atau waktu bekerja terhadap hubungan kekeluargaan dan tuntutan pekerjaan di luar antara suami isteri. Ataupun, bagaimana kurangnya pimpinan politik negara daripada komuniti marginal, seperti orang kelainan upaya (OKU) merupakan manifestasi corak layanan masyarakat terhadap OKU. Termasuklah juga apabila ada dasar negara yang mengkelasduakan Wanita, dengan menidakkan hak kewarganegaraan anak-anak yang beribukan warga Malaysia tetapi berbapakan warga luar. Isu penderaan wanita yang semakin meningkat kala kuncitara ini juga adalah susulan dasar yang dibuat rentetan pandemik dunia.\nBahkan, dalam konteks peringkat di kementerian, Malaysia pada pertengahan tahun 2020 menjadi terkenal apabila Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat (KPWKM) mengeluarkan siri iklan yang merendah-rendahkan wanita di media sosial rasmi mereka. Bukan sahaja wanita, bahkan lelaki juga ramai yang menyatakan ketidakpuasan hati tentang cara institusi kerajaan menanggapi wanita sehingga KPWKM menarik balik poster-posternya itu. Sebelumnya lagi, kami yakin rakyat Malaysia masih ingat polemik tentang suri rumah tercetus apabila mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mahu memulakan skim simpanan untuk suri rumah sepenuh masa dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Kerja-kerja domestik seperti memasak, membasuh pakaian, mengemas rumah, menjaga anak-anak, dan lain-lain lagi merupakan kerja yang melelahkan dan menggunakan banyak tenaga, malah tidak kurang lelahnya dengan mereka yang bersengkang mata di hadapan komputer di pejabat atau pekerja angkat barang di gudang-gudang. Tetapi, kita melihat hanya kelompok pekerjaan kedua itu yang layak dianggap sebagai \u201ckerja\u201d, tetapi kerja-kerja suri rumah tetap dianggap \u201cbukan kerja\u201d.\nPendek kata, isu kekeluargaan di rumah atau \u201cisu domestik\u201d ialah isu besar yang kompleks dan sangat politikal.\nMelihatkan arakian contoh yang dinyatakan ini, mari kita fikirkan persoalan ini sejenak: siapakah yang menetapkan bahawa satu kelompok pekerjaan itu dianggap sebagai kerja, manakala kelompok lain tidak? Bagaimana penetapan tersebut dilakukan? Apakah kepentingan yang ada untuk pihak-pihak yang mengeluarkan ketetapan ini? Kalau mahu mudah-mudah dan tidak mahu berfikir panjang, kita boleh saja menjawab soalan-soalan ini dengan mengatakan bahawa \u201cmasyarakat sudah menganggap sebegitu sejak zaman-berzaman\u201d, tentulah lelaki seperti saudara Khair tidak akan merasa pengalaman melihat S.M. Zakir memasak bubur (jam 1:34:43). Tetapi, anggapan sebegitu pastilah ada asal usulnya daripada budaya, sosialisasi masyarakat, pendidikan, pemahaman agama, dan institusi sosial. Bukankah ini semua politikal sifatnya? Gabungan kesemua faktor ini menunjukkan kita bagaimana ketetapan sesuatu pekerjaan itu dianggap \u201ckerja\u201d atau \u201cbukan kerja\u201d, \u201cisu penting dan besar\u201d atau \u201cisu tidak penting dan mengulang-ulang\u201d, yang sememangnya merupakan ketetapan yang lahir daripada ranah kemasyarakatan dan sentiasa bersifat politikal.\nUntuk menghuraikan lebih lanjut, kami akan tunjukkan bagaimana karya-karya bermutu tinggi telah banyak mengangkat \u201cisu domestik\u201d dalam karya mereka. Bahkan, para bicarawan sendiri telah menyebut beberapa karya dan penulis, termasuklah penulis lelaki yang turut menulis isu-isu domestic, seperti Azizi Haji Abdullah lewat karya Sangeetha\u00a0(2006) dan Shahnon Ahmad dalam Tunggul-tunggul Gerigis (1988). Tetapi, ganjil apabila Dr. Saleeh tetap mahu melihat isu domestik yang diangkat oleh penulis lelaki ini sebagai hanya \u201cperlambangan\u201d (minit 27:00). Mengapa tiba-tiba menjadi ragu apabila isu domestik turut dijuarai oleh penulis lelaki? Selain mereka, penulis seperti Arena Wati, Khadijah Hashim, Fatimah Busu, A. Samad Said, Zurinah Hassan dan Siti Zainon Ismail ialah penulis prolifik Malaysia yang begitu konsisten menulis seputar \u201cisu domestik\u201d, seperti yang disinggung-singgung oleh para bicarawan. Isu yang dibangkitkan sama penting dengan isu-isu sosial lain, seperti kemiskinan, politik partisan, kesenjangan ekonomi, pendidikan, dan banyak lagi. Jangan kita lupa tentang cerpen pertama Malaysia yang memenangi Hadiah Cerpen Komanwel\u00a0pada tahun 2019, iaitu \u201cIbu Saya Pattu\u201d oleh Saras Manickam, sesungguhnya tentang isu wanita dan keluarga, yang amat \u201cdomestik\u201d sifatnya.\nDalam sastera di luar Malaysia pula, keadaannya lebih mengujakan. Sudah berapa banyak pemenang anugerah sastera tertinggi pada peringkat antarabangsa yang fokus pada isu domestik dalam karya mereka, seperti Han Kang dengan The Vegetarian yang telah memenangi Man Booker International Prize pada tahun 2016. Yeong-hye, watak utama novel tersebut, telah menghadapi banyak masalah domestik dengan suaminya, bapa mentuanya, kakaknya, dan individu-individu lain dalam keluarga mereka. sehingga dia pernah cuba membunuh diri di meja makan, di hadapan bapa mentuanya sendiri. Nah, jika dibaca babak tersebut dengan teliti, pergelutan Yeong-hye dengan bapa mentuanya itu pun bertitik tolak daripada isu domestik kerja rumah.\nSelain itu, Pearl S. Buck, pemenang Hadiah Nobel Sastera 1938 melalui novel beliau, The Good Earth (1931) dengan sangat intim mengangkat hal-hal domestik, rumah tangga suami isteri antara Wang Lung dengan O-Lan, dan pergelutan seorang isteri dalam keluarga marhaen di China untuk membesarkan anak mereka. Hal-hal sepele dalam rumah tangga yang direndah-rendahkan oleh para bicarawan itulah yang ditulis oleh Buck, sehinggalah imaginasi massa tentang isu keadilan sosial dapat dibuka seluas-luasnya. Lebih mutakhir, Lisa Ko melalui novel The Leavers (2017) telah bercerita tentang isu-isu domestik dalam keluarga Deming Guo, seorang anak imigran di Amerika Syarikat dalam jagaan sebuah keluarga kulit putih. Pelbagai keresahan tentang dirinya, identitinya, ibunya, dan perkara-perkara kecil dalam hubungan kekeluargaan diluah dengan grafik sekali oleh Ko. Novel ini telah berjaya memenangi PEN/Bellwether Award 2016.\nOleh sebab itu, panel pemilihan Anugerah Sastera Negara sebenarnya harus dipuji kerana mengangkat Datuk Dr. Zurinah Hassan sebagai Sasterawan Negara Malaysia yang ke-13. Selain isu sejarah, politik dan falsafah, Zurinah ialah pengkarya yang tajam mengangkat persoalan identiti, timbang tara hubungan lelaki-perempuan atau \u201cisu domestik\u201d dalam cerpen dan puisinya. Zurinah merupakan pemikir Malaysia yang terkedepan dan tulen yang telah mengutarakan isu-isu ini, apatah lagi telah tekal menghasilkan karya sastera berseni dan berkualiti tinggi.\n\u201cIsu domestik\u201d bukanlah isu lapuk atau membosankan untuk terus diwacanakan. Hanya pemerhati dan pengkritik sastera yang dangkal, lapuk, egoistik, dan ketinggalan zaman sahajalah yang akan menganggap \u201cisu domestik\u201d sebegitu rupa.\nDisebabkan isu domestik adalah sama pentingnya dengan isu bukan domestik, maka penulis yang berfokus pada isu domestik tidak perlu dinasihatkan untuk \u201ckeluar daripada kepompong\u201d isu domestik supaya boleh meningkatkan mutu penulisan mereka. Mutu penulisan ialah kualiti yang terbit daripada singgungan terhadap isu-isu kemasyarakatan yang terselit lewat peristiwa yang diungkap dalam setiap karya, bukannya wajib melibatkan \u201cisu domestik\u201d atau \u201cisu bukan domestik\u201d semata-mata. Para panelis yang mengaku sebagai \u201cpenilai karya sastera\u201d seharusnya lebih faham perkara ini.\nHarus diingatkan sekali lagi, \u201cisu domestik\u201d yakni \u201cisu gender\u201d, \u201cisu kekeluargaan\u201d dan \u201cisu dapur\u201d yang ditanggapi para bicarawan forum ini adalah sama pentingnya dengan \u201cisu bukan domestik\u201d. Permasalahan gender atau menurut bicarawan, \u201cisu domestik\u201d ini lazimnya saling bertautan dengan isu-isu lain dan memberi kesan besar pada kehidupan sosial, ekonomi dan politik masyarakat. Mengapa bicarawan forum ini tidak pula mempersoalkan penulis lelaki yang \u201cmenulis isu lelaki\u201d? Kerana kita semua tahu, persoalan-persoalan yang lazim dibangkitkan dalam sastera adalah kompleks dan rencam, sehingga mustahil untuk kita memaksakan deduksi \u201cisu lelaki\u201d atau \u201cisu perempuan\u201d sahaja yang wujud dalam sesuatu karya itu sendiri. Hal ini juga disebabkan oleh \u201ckelebihan sosial\u201d atau privileges yang dinikmati oleh majoriti lelaki dalam ketidakseimbangan hubungan lelaki-perempuan dalam masyarakat dunia.\nKerancuan Sikap dalam Mendepani Wacana dan Isu Sosial\nPada hemat kami, para bicarawan khususnya saudara Khair, Dr. Saleeh dan S.M. Zakir telah gagal memahami wacana gender dalam sastera. Terdapat andaian bahawasanya wacana yang melibatkan gender pasti akan dibataskan dengan \u201cisu-isu Wanita\u201d, dan hal ini merupakan salah faham yang fatal sekali. Hal ini kerana, isu gender merupakan isu yang melatari semua hal dalam masyarakat, dan turut melibatkan \u201chal-hal lelaki\u201d juga. Sebagai contoh, sudah berapa ramai lelaki yang berasa tertekan akibat daripada maskuliniti toksik (toxic masculinity) yang dipaksakan ke atas dirinya. Tiada satu pun bidang ilmu lain yang membedah permasalahan maskuliniti toksik yang membarah ini secara sistematik, ilmiah dan berpandukan disiplin ilmu jika ilmu kajian gender tidak wujud pada zaman ini.\nDalam forum tersebut juga, para panelis telah melawak dengan mengatakan bahawa \u201clelaki tak akan puji badan lelaki\u201d (minit 36:50), dan tidak lama kemudian, mengungkapkan pula bahawa jika perkara itu berlaku, ia mungkin berlaku dalam kalangan \u201cgay\u201d. Ada dua masalah dalam lawak ini. Satu, pernyataan bahawa \u201clelaki tidak akan memuji badan lelaki\u201d itu sungguh-sungguh menunjukkan kecetekan pembacaan para bicarawan yang mengaku \u201cpenilai sastera\u201d, dan dua, mengapakah sikap seorang \u201cgay\u201d yang sebegitu mahu dijadikan bahan lawak pula?\nTidak berhenti di situ, para bicarawan turut menyorot perkembangan para penulis wanita yang lebih kontemporari, seperti Nisah Haron, Rebecca Ilham, Mahizan Husain, Hafizah Iszahanid, dan Fazleena Hishamuddin yang telah banyak membangkitkan isu-isu domestik dalam karya mereka. S.M. Zakir misalnya, mengaku berasa tergugah membaca tulisan Fazleena yang tegas dan realistik seputar pengalaman kewanitaan yang anti-patriaki, tetapi beberapa saat kemudian beliau dan Khair ketawa menyindir-nyindir mengatakan Fazleena menulis tentang isu wanita dengan berani sebelum ini, tentunya akan berubah setelah beliau menjadi ibu baru-baru ini. Kesemua bicarawan lelaki kemudian terkekeh-kekeh dengan inside joke \u201croman\u201d, \u201ckaki perempuan\u201d dan \u201cbuaya darat\u201d. Setelah itu, Khair dengan nada merendah-rendahkan mengkomentari bahawa setelah menjadi ibu, Fazleena tentu akan menulis isu-isu domestik selepas ini (jam 1:07:00).\nPada hujung forum, dengan tidak semena-mena, Khair ada juga dengan selamba menyatakan bahawa keterhadan wanita adalah sama sahaja seperti seorang lelaki, seperti dirinya yang terkongkong di rumah kerana tidak boleh sebebasnya bercakap tentang perempuan di sana, berbanding jika di luar. \u201cLawak\u201d seksisnya ini disambut tawa oleh para bicarawan lain (jam 1:35:00).\nPemaparan bagaimana tiga orang bicarawan lelaki ini memberikan komen tentang karya Fazleena dilihat sangat tidak profesional dan tidak beradab jika hendak dibandingkan dengan posisi masing-masing dalam dunia sastera dan perbukuan Malaysia. Sikap seperti inilah yang perlu didepani oleh penulis wanita, tatkala mereka sering diusik dan direndahkan keseriusan karya secara tidak profesional oleh para pentadbir sastera seperti tiga bicarawan ini. Wanita bukan sahaja perlu berbakat dan rajin menulis, tetapi perlu melepasi satu lagi halangan tambahan, iaitu peran institusi sastera dan perbukuan yang tidak menghormati manusia sewajarnya. Kali ini, pemaparan sikap selekeh ini berlaku di ruang formal dan di pentas sebuah pertubuhan penulis nasional secara terbuka pula. Bayangkan, apakah yang diperkatakan lagi di belakang penulis-penulis wanita yang berani, jujur dan membawa isu-isu penting seputar gender dan masalah sosial lain? Pelecehan awam ini dibuat oleh lelaki-lelaki berpendidikan tinggi dan pembaca, bayangkan oleh lelaki yang kurang akses pada wacana pula?\nDan, kita masih mempersoalkan mengapa wanita selalu menulis isu seputar kewanitaannya?\nSebab itulah, untuk memahami sikap para panelis yang melihat perkara ini sebagai \u201clawak\u201d, isu maskuliniti toksik yang konon \u201cmaco\u201d itu perlu diteliti. Maskuliniti toksik inilah yang menjadi asal usul \u201clawak-lawak\u201d hambar mereka, walaupun tanpa mereka sedari kerana hal ini beroperasi pada peringkat bawah sedar. Hal ini juga manifestasi sikap sebenar para bicarawan ini terhadap orang sekelilingnya. Dunia sastera dan perbukuan harusnya melahirkan manusia yang lebih santun dan beradab, saling menghormati kepelbagaian, dan lebih empati serta bersikap terhadap ketidakadilan sosial. Sikap stereotaip dan suka merendah-rendahkan orang pun merupakan sesuatu yang melibatkan andaian-andaian gender dan maskuliniti tertentu. Jadi, wacana gender dalam sastera bukan sahaja penting untuk meluaskan ufuk pemandangan kita terhadap isu-isu sosial, tetapi juga para panelis sendiri boleh berdikit-dikit untuk mula memahami gejala maskuliniti toksik yang sedang membarah dalam diri mereka sendiri.\nSetelah itu, terdapat juga satu soalan daripada audiens tentang \u201ckeadaan penulis wanita yang aktif sebelum kahwin, tetapi tidak menulis lagi selepas kahwin\u201d (jam 1:00:30). Seperti kata Dr. Norhayati sendiri, sememangnya ada data untuk membuktikan keadaan ini. Namun, adalah mengecewakan apabila semua panelis telah menyapu persoalan ini ke bawah permaidani, dan tidak cuba menelitinya lumat-lumat. Dr. Saleeh misalnya mengaku sendiri bahawa setelah berkahwin, seorang wanita akan terpaksa memikul tanggungjawab keluarga dan prasangka daripada suami (1:27:00), tetapi apabila tiba kepada penyelesaian masalah ini, mudah sekali dielak dengan hanya wallahu a\u2019lam, hanya Allah yang tahu. Bagaimana seorang sarjana universiti tergamak menjadi seselekeh ini dalam memperkatakan isu sosial?\nJika kita melihat perkara ini dengan cermat, akan timbul banyak sekali persoalan. Mengapakah lelaki, walaupun selepas kahwin, dengan mudah sekali dapat terus menulis, tetapi perempuan akan berdepan banyak kesukaran? Mengapakah apabila kahwin, perempuan itu perlu fokus pada kerja rumah dan mengetepikan penulisan, manakala lelaki boleh berbuat sebaliknya dengan senang sekali? Sejak bilakah perbezaan beban domestik ini muncul? Siapa yang menetapkannya? Mengapa kita meneruskan saja amalan ini?\nTerdapat juga perkongsian pemerhatian seorang pendengar, Puan Ramlah Rashid mengenai fenomena suami yang boleh mengurung dirinya berjam-jam di dalam bilik untuk menulis, tanpa menghiraukan hal anak di luar. Isteri atau wanita pula tidak dapat berbuat demikian kerana terpaksa menguruskan segala hal domestik seorang diri yang tidak dihiraukan oleh suaminya. Fenomena ini berkali-kali disebut dan disinggung dengan cara terang-terangan mahupun berseni dalam karya-karya besar Sasterawan Negara Zurinah Hassan berkali-kali.\nMalangnya, dalam forum ini, moderator hanya mengulang komen yang dengan jelas, menyebut \u201cPenulis wanita apabila berkahwin, mereka sibuk dengan kerja, anak-anak dan suami. Akhirnya, (wanita) susah untuk berkarya. Tetapi, apabila anak-anak sudah terlepas daripada penjagaan yang teliti, mereka akan bangkit. Waktu itu, mereka sudah jauh tertinggal. Berlainan dengan penulis lelaki, mereka mampu berkurung di bilik tanpa mempedulikan apa yang berlaku di luar bilik mereka.\u201d (jam 1:20:20). Saudara Khair hanya menyapu pendapat audiens ini ke tepi dengan mengatakan \u201cwallahu a\u2019lam, itu pendapat\u201d dan tidak pula meminta panelis untuk mengulas fenomena realiti ini yang sebenarnya menerangkan kesan ketidakseimbangan kuasa suami dan isteri dalam institusi kekeluargaan terhadap produktiviti penulis wanita. Komen itu malangnya sudah tidak boleh dijumpai di pautan forum malam itu (mungkin masalah teknikal atau telah dipadam).\nPersoalan-persoalan yang ditimbulkan di atas ini hanya dapat dijawab jika kita telah memahami isu \u201ckelebihan sosial\u201d (social privileges), yang disentuh dalam disiplin ilmu kajian gender, falsafah, sosiologi, dan sains politik. Kelebihan sosiallah yang telah menjadikan sesebuah masyarakat itu melihat, kononnya lelakilah yang lebih layak memimpin sesebuah negara berbanding perempuan, suara lelaki lebih didengar dalam isu-isu nasional berbanding suara perempuan, dan bagaimana beban-beban kerja dalam rumah tangga dianggap biasa untuk disandang oleh perempuan secara eksklusif, dan si suami akan hanya dilihat sebagai \u201cmenolong isteri kemas rumah\u201d, bukannya \u201ckemas rumah itu juga tanggungjawab suami\u201d. Sekali lagi, di sinilah pentingnya karya-karya sastera yang menyentuh isu-isu domestik yang dikatakan sepele itu, kerana situasi lelaki yang memiliki banyak sekali kelebihan sosial berbanding wanita akan dapat ditonjolkan melalui cerita-cerita domestik tersebut.\nNamun, lebih menyedihkan lagi apabila semua panelis, tetap sahaja menyalahkan perempuan apabila berdepan dengan keadaan sebegini. Dr. Norhayati malah menyimpulkan, \u201cperempuan mesti rajin menulis juga selepas kahwin,\u201d \u201cperempuan kena kental\u201d (jam 1:00:30), \u201cperempuan tidak boleh akur, tidak boleh terbatas\u201d, dan sebagainya. Seolah-olah, mereka yang keciciran tidak menulis selepas kahwin itu disebabkan mereka ini \u201ctidak cukup kental\u201d atau \u201chanya akur pada halangan\u201d, bukannya disebabkan oleh segala beban fizikal dan mental yang perlu ditanggung dalam perkahwinan, apatah lagi jika mendapat suami yang menjadi biawak hidup sahaja. Dr. Norhayati turut membawa cadangan Virginia Woolf bahawa walaupun wanita berada dalam rumah tangga, perlu ada ruang khusus untuk menulis. Cadangan ini amat tidak praktikal sekali, kerana Woolf ialah aristokrat dan lahir dalam kemewahan, itupun Woolf masih dihenyak oleh stereotaip dan diskriminasi terhadap diri perempuannya sebagai penulis (seperti yang masih berlaku beratus tahun setelahnya, dalam forum ini).\nSebagai pengkaji gainokritik yang membaca tulisan-tulisan Elaine Showalter, Dr. Norhayati tentu tahu mengenai sejarah penulis-penulis wanita besar dunia yang menghidapi tekanan mental dan perasaan yang teruk kerana tidak dapat menulis dan membaca dengan bebas setelah berkahwin. Bahkan, antara lain, teori gainokritik itu sendiri lahir sebagai respons terhadap ketidakseimbangan ruang dan pengalaman kepenulisan wanita yang unik, acap kali ditindas dan dihenyak oleh masyarakat zamannya. Antara yang paling diketahui umum ialah betapa hal-hal domestik (meski bukan konklusif) yang menekan penulis wanita berbakat besar seperti Sylvia Plath sendiri, sehingga dia memilih untuk mati dengan membunuh diri.\nBagaimanalah wanita boleh terus menulis dalam institusi keluarga yang tak pernah berubah sistemnya sejak beratus tahun yang lalu? Para penulis wanita dan lelaki yang menulis \u201cisu domestik\u201d tadi yang sebenarnya cuba untuk menyinggung permasalahan ini, tetapi \u201cisu domestik\u201d ini pula berterusan diremehkan oleh para panelis yang tidak pula menawarkan penyelasaian atau wacana yang lebih kritis bagi permasalahan sosial ini.\nTambahan pula, menjadi penulis bukan pekerjaan mewah. Majoriti wanita dalam kelompok B40 atau M40 tidak ada kemewahan material, ruang serta masa yang dimiliki oleh Woolf atau mungkin oleh Dr Norhayati sendiri, apatah lagi untuk mempunyai \u201cruang sendiri\u201d di rumah supaya boleh terus menulis. Sikap menyalahkan mangsa (victim-blaming) sebegini amat mendukacitakan, kerana yang menghadapi kesukaran hampir tanpa jalan keluar dalam perkahwinan itu lazimnya si isteri, tetapi apabila si isteri tidak menulis kerana kekangan sistemik, dia dipersalahkan juga. Apalah nasib orang perempuan, sudah jatuh ditimpa tangga.\nApakah para bicarawan tidak pernah membaca dan menaakul puisi terkenal yang sering berlegar di media social, iaitu \u201cSatu Percakapan Singkat\u201d tulisan Zurinah Hassan?\n(.) tetapi kau lelaki\ndan aku perempuan\ndi sinilah letaknya perbezaan\nSeorang lelaki membebaskan diri\nuntuk membataskan pilihan\nseorang perempuan membataskan pilihan\nuntuk membebaskan diri.\nTerus-terusan meraih pekung di dada, S.M. Zakir menunjukkan kesempitan pembacaan beliau sendiri apabila mendakwa bahawa \u201cwacana feminisme dalam sastera sudah lapuk\u201d (jam 1:32:15). Pada hakikatnya, wacana feminismelah yang sudah banyak berjasa membina alat-alat perkakas intelektual untuk memahami isu kelebihan sosial, beban ganda (double burden) dan sikap menyalahkan mangsa dalam isu berkaitan gender di seluruh dunia. Wacana gender dan feminisme telah jauh berkembang pesat, bahkan ketika dunia diserang oleh wabak COVID-19, wacana feminismelah yang telah membantu para pembuat dasar untuk memahami isu hubungan kekuasaan (power relations) dalam rumah tangga berikutan kuncitara di banyak negara di dunia. Adalah tidak adil untuk meninggalkan satu alat intelektual yang amat penting untuk memahami isu-isu kontemporari, hanya kerana anda menganggapnya sebagai \u201clapuk\u201d. Malah, wacana feminisme dan politik agamalah yang telah mencetuskan ilham untuk Margaret Atwood menulis The Handmaid\u2019s Tale (1985) yang telah memenangi Arthur C. Clarke Award pada tahun 1987. Pada hari ini, siapa yang boleh menafikan kehebatan novel ini dalam kesusasteraan dunia?\nJusteru, apabila para panelis mencadangkan supaya para wanita \u201ckeluar daripada kepompong domestik\u201d dan \u201cmenyentuh isu antarabangsa\u201d umpamanya, dengan hasrat untuk \u201cbersaing dengan penulis lelaki\u201d (jam 1:18:05) kita harus persoalkan pula, adakah mereka \u201ctidak mahu\u201d atau \u201ctidak mampu\u201d untuk keluar dan bersaing? Lebih mendalam lagi, adilkah mereka disuruh \u201cbersaing\u201d jika padang permainannya sudah tidak rata sejak awal lagi? Pada masa yang sama, jika isu-isu domestik langsung didiskriminasi dalam karya dan dianggap kurang penting berbanding dengan isu \u201cbukan domestik,\u201d bagaimanakah kita mahu benar-benar menilai merit karya-karya sastera? Dengan pengalaman perempuan yang banyak didekam di rumah akibat ekspektasi sosiallah, kita melihat ramai penulis perempuan menulis isu domestik, namun bukanlah bermaksud isu domestik itu tidak bermutu. Seperti yang telah kami katakan dan buktikan di atas, mutu karya sastera tidak langsung berkait dengan isu \u201cdomestik\u201d atau \u201cbukan domestik\u201d. Jika tanda aras penilaian sastera di negara kita yang dikatakan berasaskan \u201cmerit\u201d itu pun sudah tempang begini, memang amat susahlah untuk sastera kita bangkit dengan karya-karya bermutu, mampan dan semasa pada peringkat dunia.\nMenuju ke Hadapan\nHal \u201cIsu domestik\u201d atau \u201cisu wanita\u201d bukanlah isu yang kurang penting daripada isu sosial lain. Para bicarawan tidak habis-habis membawa analogi ruang-ruang di dalam rumah dan mengatakan wanita harus keluar dari dapur dan masuk ke ruang tamu atau beranda untuk mendengar masalah-masalah yang \u201clebih besar dan penting untuk masyarakat\u201d. Betapa bermasalahnya cara berfikir sebegini kerana (i) dapur ialah ruang yang sama penting dengan ruang lain seperti ruang tamu, kamar tidur atau jamban tempat kita melepaskan pemikiran najis yang dangkal, (ii) dapur ialah ruang utama untuk menyediakan makanan dan minuman supaya masyarakat boleh kenyang lalu boleh berfikir dan menulis \u201cisu-isu besar\u201d supaya \u201cdapat memberi impak pada pembangunan masyarakat\u201d, dan jangan dilupa, (iii) api di dapur lebih marak daripada api kecil di hujung silinder putung rokok picisan di tangan lelaki di beranda tadi.\nKetempangan dan keserabutan hujah dalam forum ini terlalu jahar, secara langsung menunjukkan sikap simplistik, korupsi sikap dan wewenang para bicarawan forum dalam memahami isu sastera dan sains sosial yang kompleks dan ragam. Kita mengerti bahawa kadangkala para bicarawan boleh menjadi terlalu santai dan kurang serius sikapnya apabila berhujah lewat forum-forum dalam talian, tetapi perkara yang dipaparkan di sini ialah manifestasi totok kecetekan kefahaman terhadap isu sosial yang melatari sastera.\nSebagai intelek dan pemimpin sektor sastera dan perbukuan Malaysia, kedangkalan kefahaman dikotomi dan simplistik sebegini begitu mengejutkan, lagi-lagi jika kita hendak membandingkan wacana sastera dalam bahasa Melayu di negara jiran Singapura dan Indonesia. Mereka ini digaji menggunakan dana awam dan seharusnya lebih berintegriti dalam menjalankan tugas selaku pemimpin dan pentadbir sastera dan perbukuan dengan unggul dan berkesedaran tinggi.\nTaraf kualiti pewacanaan ini perlu disuluh terang-terangan kerana para bicarawan ini bukanlah pak cik dan mak cik yang tidak berpendidikan yang bersembang di kedai kopi. Mereka peran penting yang memegang antara tampuk utama pentadbiran bahasa dan perbukuan negara. Cara fikir dan sikap mereka akan memberi banyak sekali implikasi terhadap pengiktirafan karya dalam anugerah yang ditangani, penerbitan karya, pembuat dasar, cara penulisan, pendidikan bahasa dan sastera kepada generasi muda, pengembangan kesarjanaan sastera, dan seperti dalam forum ini, tahap kualiti dan kritik pewacanaan sastera.\nBaca Bahagian Pertama Reaksi |\nKedangkalan Penggiat Sastera Veteran: Kritik Terhadap Forum Sastera (Bhg. 1)\n\n_________________________\nNur Adilla ialah diplomat di Kementerian Luar Negeri. Sebelum itu, beliau merupakan Pegawai Penyelidik Dasar dan Legislatif di Pejabat Speaker Dewan Negeri Selangor, serta penyelidik di Fakulti Sosiologi, Universiti Washington, Amerika Syarikat. Beliau juga merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam dua bidang, iaitu Sains Politik dan Undang-undang, Kemasyarakatan dan Keadilan dari Universiti Washington. Selain esei, Nur Adilla turut menulis cerpen dan pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) ketika di sekolah menengah. \n\u00a0Hazman Baharom ialah Pegawai Penerbitan Kanan di Parlimen Malaysia. Beliau juga merupakan penerima Hadiah Juri dan Hadiah Audiens dalam Pertandingan Haiku Antarabangsa 2020 anjuran Maison de la Culture du Japon \u00e0 Paris, Perancis. Beliau telah menulis dua buah buku, Renungan Kemasyarakatan (2016) dan Perihal Keadilan (2019), selain sudah menterjemahkan empat buah buku daripada bahasa Inggeris dan bahasa Cina, serta menterjemahkan beberapa karya sastera Jepun." "Azmah Bawa Dimensi Baharu Sastera Sabah, Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sasterawan Sabah Azmah Nordin membawa dimensi baharu kepada kepengarangan novelis wanita di Malaysia bukan hanya dari segi muatan karya yang dibawanya tetapi juga citra sastera etnik.\nMalah Azmah, yang berasal dari Kulim, Kedah, tampil dengan kekuatan tersendiri kerana membina dunia kepengarangannya di wilayah asing, iaitu Sabah, dan melakukannya sesudah berumah tangga.\nHal itu boleh disimpulkan dalam perbincangan Forum Pemikiran Azmah Nordin yang disiarkan dalam Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka 24 September lalu. Forum itu yang dimudahcarakan oleh Hafiz Latiff menampilkan panel, aktivis sastera Dr. Hanafi Ibrahim, Pensyarah Universiti Malaya Prof. Madya Dr. Norhayati Ab Rahman, dan Timbalan Naib Canselor, Universiti Malaysia Sabah, Prof. Madya TS Dr. Ramzah Dambul.\nHanafi memulakan perbincangan itu dengan menyebut Azmah ialah penulis yang membawa muatan baharu pada zaman beliau memulakan penulisannya, selain mencorakkan sejarah persuratan kebangsaan dengan imej yang ditampilkan dalam karyanya.\nMengakui banyak mengkaji karya Azmah, Hanafi menyifatkan Azmah membawa penampilan pengarang wanita yang baharu dengan sudut pandangan feminisme yang tersendiri.\n\u201cCiri istimewa karya beliau banyak menggabungjalinkan perkataan yang membawa lambang tersendiri dalam karyanya. Misalnya, serigala atau badak sumbu dan ini boleh ditemui dalam karya besar beliau.\n\u201cGabungan perkataan begitu sering diulang dalam karya Azmah, malah saya melihat banyak wataknya dimetaforakan seperti \u2018kambing gurun\u2019 dan \u2018badak sumbu\u2019. Malah, pelbagai watak wanita ditampilkan dengan pelbagai karakter berbeza,\u201d katanya\nPandangan Hanafi disokong Norhayati yang menegaskan, Azmah konsisten dengan prinsip dan perjuangannya sejak dahulu, menjadikan beliau seorang pengarang yang cukup penting dalam jalur kepengarangan negara.\nMalah, Azmah juga mempunyai kecenderungan yang sangat besar menggunakan metafora dengan cara tersendiri. Hal ini tegas Norhayati, selari dengan pemikiran feminisme yang menyarankan penulis wanita agar menggunakan gaya bahasa sendiri dan tidak terikat dengan male discourse.\n\u201cMetafora yang digunakannya juga agak kasar dan jarang-jarang diguna pakai oleh penulis wanita yang lain.\n\u201cPenggunaan perlambangan yang dikaitkan dengan diri watak, misalnya perkataan serigala korporat, beruang atau badak sumbu,\u201d katanya.\nTambah Norhayati, penulis wanita boleh berjaya walaupun sudah berkahwin, asalkan mempunyai disiplin dan ruang peribadi, iaitu psikologi dan mental untuk berkarya.\nAzmah kata beliau ialah contoh penulis wanita berjaya yang membina dunia kepengarangannya setelah berkahwin. Malah, lebih jauh dari itu, Azmah menulis dengan hasrat untuk memartabatkan wanita dan memberi inspirasi kepada wanita.\nSementara itu, Ramzah melihat Azmah sebagai seorang penulis dengan latar kepengarangan yang unik berbanding dengan penulis lain yang sezaman dengannya. Beliau mulai menulis ketika kematian anaknya dan hal ini dianggap sebagai terapi untuknya.\n\u201cSaya melihat Azmah ini istimewa kerana berkembang di Sabah walaupun berasal dari Kedah. Beliau membina dunia penulisannya dari sisi marginal, iaitu berada di ruang asing dan perlu menonjol berbanding yang lain.\n\u201cBerada di Sabah pada tahun 70-an ada banyak beza dari segi budaya dan bahasa, dan Azmah membina kekuatan karya daripada persekitarannya.\n\u201cNaskhah Azmah memperkatakan banyak hal dan boleh disorot juga dari sisi sastera etnik, iaitu merujuk perjuangan etnik marginal di Malaysia, dan dalam konteks ini, kaum di Sabah dan Sarawak.\n\u201cAzmah mengangkat dimensi novelis dari Sabah lebih tinggi. Beliau membawa citra etnik yang selama ini tidak dibuat oleh novelis Sabah, kecuali Amil Jaya,\u201d katanya.\nTegas Ramzah, karya Azmah boleh diangap sebagai contoh klasik karya etnik Sabah, kerana sastera etnik bukan sekadar mengambil perkataan atau istilah dan menempelnya dalam karya, sebaliknya imejnya harus mewakili komuniti Sabah.\n\u201cNovel pertama beliau, Kukui misalnya, mempunyai pencitraan isu-isu lokal peribumi di Sabah yang setaraf dengan Bagaton oleh Amil Jaya,\u201d katanya.\nTonton forum penuh di sini." "Rangkai Kata \u201cAdalah Kerana\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nBanyak pengguna bahasa yang menggunakan rangkai kata adalah kerana dalam ayat seperti ayat yang berikut:\n\u00a0\n\u00a0\nAdakah penggunaan rangkai kata adalah kerana dalam ayat di atas gramatis?\n\u00a0\nDaripada:\nNorcafe Nordin,\nPengkalan Balak, Melaka." "Isu Feminisme dalam Sastera Tidak Lapuk?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPolemik gender dalam sastera yang tercetus dalam beberapa wacana mutakhir ini tular di dada garis masa media sosial, menghangatkan ruang udara perbincangan. Sementelah cetusan polemik forum anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), iaitu Wacana PENA yang mengemudi sebuah bual bicara bertajuk \u201cWanita Penulis Domestik, Lelaki Penulis Publik?\u201d, mendapat reaksi lanjutan oleh Nur Adilla dan Hazman Baharom dalam satu naskhah kritikan yang disiarkan dalam e-Dewan Sastera.\nSambutan khalayak dalam hal ini lantang, lebih-lebih lagi setelah PENA yang berkedudukan terbuka menganjurkan sebuah bicara lanjutan perihal feminisme, susulan kenyataan bicarawan S.M. Zakir berbunyi, \u201cWacana feminisme dalam sastera sudah lapuk\u201d sewaktu bicara yang pertama itu.\nWacana lanjutan tersebut, \u201cFeminisme dalam Sastera: Isu Lapuk?\u201d, diadakan pada 24 September 2021 (Jumaat), 9.00 malam. Minggu ini, ahli panelnya terdiri daripada Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan dan Puan Ruhaini Matdarin, juruaudit serta penulis prolifik Sabah, bersama-sama panel tetap Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.\nSaleeh Rahamad menerusi wacana ini menyatakan pendapat beliau perihal bagaimana budaya pengarang yang mengangkat isu feminisme di ranah tempatan dengan benua lain adalah berbeza, \u201cBerbanding pengarang-pengarang dari Barat, perjuangan yang dibawa dari sana adalah berbeza daripada budaya ketimuran di Malaysia. Penulis-penulis Melayu tanah air kebanyakannya berkarya dengan budaya Islam, dan dalam Islam, tidak ada dikotomi perspektif darjat antara lelaki dengan wanita.\u201d\nMenurut Saleeh Rahamad lagi, dalam ranah tempatan, penulis wanita mahupun lelaki masing-masing bermain peranan dalam berkarya mengangkat perjuangan serta status wanita.\nRona idea perjuangan itu juga wujud dalam kalangan penulis, kesan pendedahan kesusasteraan Barat. Bagi beliau juga, isu ini tidak pernah lapuk kerana melibatkan kemanusiaan dan perlu untuk mendidik masyarakat sepanjang zaman.\nSasterawan Negara, Datuk Zurinah Hassan pula berkongsi kenyataan melalui cerpen \u201cMenanti Suria Pagi\u201d. Mesej cerpen yang ingin diangkat melibatkan isu keciciran pendidikan dan masa depan pembangunan sahsiah anak bangsa.\n\u201cApa yang difokuskan dalam cerpen ini lebih menekankan hakikat beban pelajar perempuan yang lebih berat kerana stigma jantina mereka,\u201c jelas penyair itu.\nSejak era penulisan Zurinah lagi, beliau akui sangat sukar bagi wanita untuk menekuni pelajaran, maka cerpen yang dinukilnya ini merupakan sebuah mesej juang agar anak perempuan ketika itu juga mendapat peluang pendidikan, di samping memberi kesedaran akan kewujudan kekangan masa dan kesempitan ruang serta peluang untuk mereka.\nMenurut beliau lagi, penulis-penulis yang tera dan berbakat sezamannya, seperti Maznah Ali juga dilihat perlahan-lahan menyusutkan diri daripada kegiatan penulisan ekoran tidak mampu menahan tekanan sosial dan ekonomi. \u201cTentulah perlu untuk memperjuangkan hak wanita ini, dan perjuangan ini tidak pernah mudah kerana kesukaran yang dihadapi adalah berbeza-beza,\u201d tegas Zurinah.\nPerihal soalan lapukkah isu feminisme ini, Zurinah sendiri sebagai pemerhati masyarakat dapat membuktikan, isu hati, perasaan dan tanggungjawab wanita dalam kehidupan bermasyarakat tidak pernah menemui penghujungnya. \u201cDari dahulu, mereka yang perempuan terpaksa berkorban untuk keluarga, mereka yang perempuan juga tertekan dengan tanggapan keluarga perihal domestik, dan hal ini tidak pernah selesai lagi sehingga hari ini, bagaimana kita boleh lapukkan isu ini?\u201d\nBeliau menegaskan juga, betapa beratnya peranan seorang penulis untuk kekal menulis dan berjuang kerana isu kemanusiaan ini tidak akan pernah habis. Zurinah Hassan memang masyhur dengan karyanya yang membawa naratif perjuangan wanita, seperti sajak \u201cPesanan Puteri Gunung Ledang\u201d, \u201cSurat Teja kepada Tuah\u201d dan \u201cKuali Hitam\u201d.\nRuhaini Matdarin pula menekankan persoalan ke arah manakah hala tuju polemik feminisme ini, mengharapkan wacana dan diskusi tentangnya mempunyai hala tuju yang jitu. Dalam kesuasteraan pun, cabang tanggungjawab, isu dan polemik adalah pelbagai dan perlu dikhususkan.\nRuhaini membuka perbincangan dengan skop yang lebih luas, iaitu perlunya untuk melihat cabaran tekanan psikologi masyarakat wanita. Ruhaini menyatakan kepentingan reaksi ini kerana isu yang dihadapi hari ini ialah isu yang real dan membejatkan perkembangan wanita. Menurut Ruhaini lagi, alasan ini sedia kukuh demi menentukan kepentingan menyuntik elemen feminisme dalam karya sastera.\n\u201cDalam menggaul elemen feminisme ke dalam karya sastera, pengarang yang menulis tidak boleh menetapkan karyanya itu sebagai sebuah karya yang \u2018feminisme\u2019, namun melalui kepekaan dan keprihatinan penulis pada isu sekeliling, jiwa itu akan timbul.\n\u201cSebagaimana karya itu tidak akan dinilai melalui label naskhah domestik atau naskhah publik, hujung pangkalnya, pembaca akan menilai karya itu melalui kesan dan rasa mereka,\u201d ujar Ruhaini.\nWalaupun dua panel jemputan ini, Zurinah dan Ruhaini masing-masing berbeza latar zaman kehidupan mereka, namun Ruhaini melihat isu yang diangkat oleh Zurinah, masih sama dan masih wujud. \u201cSituasi dan zaman yang berbeza, namun isu masih sama, seperti isu melabel yang mengekang kemajuan. Namun, reaksi penerimaannya hari ini telah berubah,\u201d jelas Ruhaini.\nRuhaini Matdarin menyimpulkan, walaupun kita berada dalam satu kepercayaan berkenaan feminisme, polemik ini akan sentiasa berubah-ubah. Diskriminasi tentang hak mungkin akan terus berlaku, dan yang utamanya, perkara ini sentiasa boleh dibincangkan. Katanya, isu ini (feminisme dalam sastera) tidak lapuk, kerana ancamannya nyata dan masih berleluasa.\nTonton wacana ini di sini." "Lirik yang Berjiwa, Hidup Selamanya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLagu lama mempunyai rohnya yang tersendiri, masih dimainkan di stesen radio dan juga aplikasi muzik. Pada aplikasi nyanyian Smule contohnya, terdapat banyak lagu lama yang boleh dipilih oleh pengguna untuk duet lagu. Walaupun medium berubah, namun lagu-lagu lama yang mempunyai lirik dan melodi yang baik mampu merentas zaman dan berterusan mempunyai peminat baharu.\nCanai Bahasa dan Sastera kali ini membawakan para panel yang terdiri daripada penyair dan penulis lirik, Siti Zaleha M. Hashim dan penyanyi lagenda Dato\u2019 DJ Dave bagi membincangkan tajuk \u201cLirik yang Berjiwa, Hidup Selamanya\u201d. Program ini dikendalikan oleh penulis Djazlam Zainal.\nSiti Zaleha dikenali menghasilkan lirik-lirik lagu yang mempunyai mesej dan tidak gentar menghasilkan lirik dengan tema di luar kebiasaan pada zamannya. Beliau menghasilkan lirik untuk para penyanyi terkenal, antaranya termasuklah Sudirman Haji Arshad, Rosemaria, Noorkumalasari, Kopratasa, dan juga Roy & Fran.\nLagu Dato\u2019 DJ Dave, Tuah Badan ditulis oleh Siti Zaleha. Walaupun lagu Tuah Badan bertempo laju stail disko, liriknya membawa mesej tentang kehidupan. Siti Zaleha menerangkan beliau memasukkan nasihat bahawa walaupun hidup sederhana, kita mesti menjadi diri sendiri. Kegembiraan akan membawa kebahagiaan.\nAntara lirik lain tulisan Siti Zaleha yang unik ialah Toyol yang dinyanyikan oleh Allahyarham Sudirman. Kata Zaleha, lagu ini dihasilkan dengan mesej supaya masyarakat tidak percaya pada perkara karut dan menghilangkan rasa seram kepada entiti toyol tersebut. Dalam lagu Si Naga Naga yang dinyanyikan oleh Carefree pula, unsur cerita rakyat dimasukkan seperti naga dan kayangan. Lirik lagu ini menempelak telatah manusia yang mudah ditipu kerana ingin cepat kaya.\nMesej yang dimasukkan adalah sangat penting dan hal ini dipersetujui oleh kedua-dua panel. Lirik yang baik mempunyai cerita di sebaliknya, dibalut dengan bahasa yang indah. Penulis lirik boleh menjadikan lirik lagu sebagai wadah untuk membentuk pemikiran dan pembentukan masyarakat.\nDato\u2019 DJ Dave berkongsi bahawa lagu-lagu boleh dijadikan panduan hidup. Beliau menulis lagu yang mempunyai mesej 5K, iaitu keluarga, keturunan, kampung, kesenian, dan kebudayaan. Lagu ini diberikan kepada anak-anaknya sebagai bekal supaya tidak tersesat daripada landasan kehidupan. Menerusi lirik lagu juga, perpaduan, semangat cintakan negara dan bahasa dapat dilakukan, sepertimana lagunya dapat dinikmati oleh pelbagai bangsa.\nNasihat Siti Zaleha kepada penulis lirik adalah supaya penulis lirik memanfaatkan peluang yang ada sebaik-baiknya kerana kerja menulis ialah amanah dan tanggungjawab. Walaupun tujuan asal lagu adalah untuk berhibur, tetapi lirik yang baik perlu mempunyai mesej, menggunakan bahasa yang indah, menyentuh perasaan, membuatkan pendengar berfikir, meninggalkan kesan, dan memasukkan nilai kemanusiaan. Perkara yang ditulis akan menjadi warisan yang ditinggalkan.\nProgram ini disiarkan secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada 23 September 2021, pukul 10.00 pagi.\nTonton Canai Bahasa dan Sastera di sini." "Azmah Nordin: Jadilah Pohon yang Melindungi Orang Lain\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu \u2013 Pengiktirafan Sasterawan Sabah kepada Azmah Nordin yang berasal dari Kedah sangat besar maknanya kerana merapatkan jurang di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah melalui karya beliau. Sasterawan Sabah Azmah Nordin yang mengangkat sastera etnik memperkenalkan keindahan tradisi, budaya, latar dan juga pemikiran penduduk di Sabah yang unik dan berbeza daripada penduduk di Semenanjung Malaysia.\nWawancara Khas Azmah Nordin yang disiarkan di Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada 24 September 2021 membawa tokoh sastera ini menjawab persoalan mengenai pengkaryaan dan proses kreatif beliau, termasuk beberapa pesanan kepada penulis. Program ini turut membawa penulis sohor Sabah, Ruhaini Matdarin sebagai moderator.\nSetakat ini, sudah banyak karya Azmah yang telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau berterima kasih kepada DBP kerana membuka laluan kepadanya. Mentor-mentor yang memupuk rasa yakin diri kepada bakat yang ada membuatkan Azmah berani menyahut cabaran dan menghasilkan karya yang banyak memenangi anugerah berprestij. Didorong oleh kepercayaan mentor beliau, Azmah berjaya menyiapkan novel Timulak Kapal Perang (1989) dalam masa enam hari sahaja. Novel ini memenangi Anugerah Novel Sejarah Kebangsaan dan kemudiannya menjadi teks Komponen Sastera dalam Bahasa Melayu (KOMSAS). Seterusnya, novel Pantai Kasih (2014) turut diangkat menjadi teks KOMSAS.\nMempercayai bakatnya adalah anugerah Tuhan, Azmah memanfaatkan bakat dan terus menulis serta yakin bahawa anugerah tersebut dikurniakan dengan misi untuk melakukan sesuatu. Azmah percaya, seseorang penulis perlu mempunyai perjuangan. Beliau memilih untuk memperjuangkan hak wanita kerana walaupun zaman semakin maju, namun masih wujud isu berkenaan wanita dan perlecehan gender. Bagi Azmah, feminisme tidak akan lapuk. Isu-isu yang dibangkitkan dalam novelnya ialah seruan kepada para wanita untuk bangkit melawan menggunakan kebijaksanaan.\nMengupas proses pengkaryaan beliau, Azmah menyorot bagaimana novel Lara\u00a0dihasilkan. Azmah menggunakan pengalamannya sepanjang berada di hospital dan berbincang dengan para doktor. Bagi menghasilkan Lara, Azmah membeli beberapa buku perubatan terbitan DBP sebagai rujukan. Azmah menekankan kepentingan membuat kajian dan menggunakan ilmu bantu supaya maklumat yang dimasukkan ialah maklumat yang benar. Ilham ada di sekeliling dan terdapat banyak isu yang boleh dibangkitkan dalam karya.\n\u201cMasuk ke dalam cerita itu, hayatinya, kayakan dengan fakta-fakta dan masukkan budaya dan ilmu,\u201d katanya.\nSelain meminati karya Stephen King, Azmah meminati karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. Ayat-ayat dalam karya Shahnon baginya amat hidup dan dirasakan terus ditarik untuk membaca penulisan Shahnon yang penuh gaya show don\u2019t tell. Azmah juga banyak membaca karya klasik Inggeris dan menyalin semangat pengkaryaan penulis-penulis tersebut.\nSebagai membalas semula kebaikan dan peluang yang diterimanya, Azmah aktif membimbing ramai penulis muda dan banyak menjalankan program amal penulisan. Ramai anak didiknya mempunyai bakat dan berjaya menembusi tembok DBP dengan karya mereka.\nBeliau membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang ingin menulis dan memerlukan mentor. Azmah turut menegaskan penting bagi penulis untuk menulis dengan semangat memperjuangkan sesuatu supaya karya menjadi inspirasi kepada mereka yang mengalami situasi dalam isu yang dibangkitkan. Pesanan khasnya kepada penulis wanita adalah supaya menjadi pohon yang melindungi orang lain, terutamanya para wanita.\nTonton wawancara khas di sini." "Rosli K. Matari: Cerpen Dues ex Machina Karya yang Tidak Bernilai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Malam keenam Bengkel Cerpen Hujung Minggu kali ini banyak tertumpu kepada persoalan \u201cBagaimana untuk menjadikan sesebuah cerita itu lebih dinamik?\u201d Rosli K. Matari mencabar fikiran penonton dengan menegaskan, penulis kita memang kebanyakannya suka mengarang dengan mengikut turutan kebiasaan, walhal kita boleh saja terbalikkan dengan meletakkan \u201cpengakhiran cerita\u201d pada awal tulisan, bukan pada akhir karangan.\nMenurutnya, pengarang sebenarnya lebih bijaksana daripada pengarah filem. Hal ini kerana, setiap bunyi harus dibunyikan dalam cerpen, malah harus menggambarkan warna dalam tulisan. Hebatnya pengarang jika mereka boleh setanding dengan pengarah filem, kerana mereka bukanlah kamera.\nRosli mengetengahkan teknik foreshadow dan sangat menyarankan untuk digunakan oleh para pengarang agar cerpen yang dihasilkan menjadi lebih dinamik. Foreshadow bermaksud \u201cdibayangkan\u201d (menurut Federal\u2013Chambers Advanced English Dictionary, 2003), \u201cbayangan hadapan\u201d, \u201cmenandakan\u201d, \u201calamat sebelum kejadian\u201d, atau \u201cmembayangkan\u201d.\nContoh paling diingati ialah bau kemenyan yang dihidu oleh watak utama (Kinto) selepas balik daripada berburu dalam novel Senjakala karya Baharuddin Kahar yang menandakan adanya kematian. Bau kemenyan itulah foreshadow yang dimaksudkan. Apabila mengarang, kita perlu mengambil kira hal-hal di sekeliling kita. Kalau watak itu berlari, tunjukkan serta perhalusi duri dan akar yang menjadi rintangan ketika dia berlari. Hal tersebutlah yang akan menjadikan sesebuah cerpen lebih dinamik.\nDalam cerita animasi yang ditayangkan semasa bengkel, wataknya sedang memulakan langkah untuk melalui satu titian kecil yang berada pada aras tinggi. Persoalan bahawa watak itu akan melangkah melalui titian ataupun tidak, dapat diagak oleh penonton dengan adanya gambaran awal sekumpulan burung terbang di atas kepala watak tersebut menuju ke hadapan. Sekumpulan burung yang terbang ke hadapan itulah foreshadownya kerana selepas itu, watak cerita tadi juga bergerak ke hadapan melalui titian kecil yang berbahaya tersebut. Menurut Rosli, foreshadow merupakan salah satu elemen yang sangat bagus diterapkan dalam sesebuah cerita pendek untuk menjadikannya lebih dinamik.\nSetiap dialog juga perlu diteliti kepentingannya. Jangan semata-mata untuk memanjangkan cerpen, dialog yang tidak penting juga dimasukkan. Rosli mengakui tidak menemui walaupun sepatah perkataan \u201citu\u201d dalam novel Mata di Jendela\u00a0oleh Abu Yazid Abidin (Wijaya Mala). Hal ini bermakna, kemahiran serta ketelitian seseorang pengaranglah yang menentukan kekuatan bahasa karyanya.\nDisertakan juga beberapa contoh cerpen yang baik sebagai rujukan, hasil karya para pengarang mapan. Antaranya, cerpen \u201cDi Sisi Rinda\u201d oleh A. Samad Said, \u201cRokok Daun Celepa Tembakau\u201d karya Azizi Haji Abdullah, dan \u201cBabun\u201d hasil cipta Abdullah Hussain. \u201cDi Sisi Rinda\u201d memuatkan aliran realisme magis dengan baik, yang berupa gabungan antara realiti dengan mitos atau legenda.\nSehubungan itu, aliran penciptaan dalam lapangan lukisan atau catan kelihatan lebih rencam dan berwarna-warni berbanding dengan arena penulisan cereka Malaysia. Aliran cereka yang cukup kuat mendominasi dunia penulisan kita ialah aliran realisme.\nDalam hal ini, Rosli menyenaraikan E Pian Pro Poul dalam kalangan 10 cerpenis terbaik Malaysia setelah membaca cerpen-cerpen E Pian. Beliau juga beberapa kali menyebut Chairil Anwar sebagai sasterawan yang paling dikenang dengan pemberontakannya dalam sajak \u201cAku\u201d. Baginya, sebuah sajak Chairil sudah cukup untuk dikenali dan diingati sehingga hari ini. Hal itu menunjukkan betapa kuatnya sajak tersebut sebagai sebuah karya sastera.\nRosli menasihatkan, \u201c(Oleh sebab) tidak luas bacaan, Dewan Sastera tidak baca, akhbar tidak baca, sebab itu tidak boleh jadi penulis besar. Perlu baca dan ambil tahu juga tentang kritikan sastera, walaupun tidak mahir. Cerpen kita perlu dibezakan antara karya yang panjang dengan karya yang meleret. Perlu tulis saja dulu.\n\u201cPenyebab sukar mengarang kerana penulis pemula ingin memulakannya mengikut turutan A, B, C, D, dan seterusnya. Tulis saja dulu apa-apa juga yang terlintas di kepala. Terus mengarang, dari tengah pun tidak mengapa. Kemudian, boleh dibaiki, dipinda, diterbalikkan atau dibuang pun. Hendak mula di mana? Mulakan di kepala kita, di kepala kita!\u201d\nBeliau kemudiannya masuk kepada satu bahagian mustahak dalam penulisan cerpen, iaitu peleraiannya ataupun mengarang kesudahan cerita. Ramai penulis yang dilihatnya gemar menggunakan kaedah dues ex machina untuk memberikan kesudahan atau peleraian kepada cerita.\nRahman Shaari dalam Bimbingan Istilah Sastera (1981) mentakrifkan dues ex machina sebagai \u201cSuatu cara pengarang menyelesai sesuatu cerita, atau sesuatu bahagian dalam cerita, dengan mudah. Pembaca seakan dipaksa menerima penyelesaian itu atas dasar takdir. Kematian Karim dalam Badai Semalam\u00a0kerana kecelakaan di jalan raya, (iaitu suatu pembalasan bersifat poetic justice), adalah dues ex machina.\u201d\nTeknik deus ex machina seolah-olah ada perbuatan mesin, ada unsur tiba-tiba dan kebetulan. Cerpen yang mempunyai unsur dues ex machina ialah karya yang tidak ada nilai menurut Rosli. Cerpen yang mempunyai campur tangan \u201cdewa\u201d sebegini merupakan cara mudah pengarang menyelesaikan ceritanya. Namun begitu, cerpen yang mempunyai campur tangan pengarang sebegini pun ada yang menang hadiah, katanya. Rosli kemudian menegaskan, \u201cKalau saya, terus terang saya katakan, itu cerpen bodoh.\u201d\nSelepas Dr. Fatimah Busu dan Sasterawan Negara S. Othman Kelantan, diikuti E Pian Pro Poul, Rosli hanya menyebutkan S.M. Zakir sebagai cerpenis mutakhir Kelantan yang kuat. Beliau sendiri kemudiannya mengakui \u201clenguh\u201d membaca cerpen-cerpen Shahnon Ahmad yang berulang-ulang dan sangat halus dan mendalam deskripsinya. Rosli juga turut mengangkat Sasterawan Negara Abdullah Hussain sebagai The Greatest Storyteller. Aspek bahasa dalam penulisan perlu dititikberatkan, seperti ketepatan perkataan, kekuatan dialog dan kekuatan pembinaan cerita. Baginya, gunakan ayat dan percakapan yang berkesan serta elakkan kesalahan ejaan.\nBeberapa nasihat berguna Rosli kepada para peserta mengakhiri sesi bengkel kali ini.\n\u201cSiap satu cerpen, semak dan dinamikkan bahagian depan dan belakang. Jika diundang ke majlis penyampaian apa-apa hadiah sastera, hadirlah, walaupun kita tidak menang. Hadir untuk bertemu kawan-kawan dan mendengar. Jangan malu. Terus gigih. Kita hendak menulis perlu ada jadual, mesti berdisiplin.\u201d\nBerita Berkaitan |\nMenekuni Kesusasteraan Bersama Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari" "Gelora Imaginasi Sasterawan Sabah Azmah Nordin (Bhg. 2)\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nProfesor Madya Dr. Hajah Asmiaty Amat mengupas perjalanan dan cara Azmah Nordin \u201cmenongkah lumah\u201d untuk mencitrakan kepengarangan dan pengkaryaannya yang unik. Reaksi ini merupakan bahagian yang kedua dan terakhir.\nKedudukannya sebagai penerima SEA Write Award pada tahun 2009 dan Sasterawan Sabah pada tahun 2021 tidak pernah menjadi halangan untuk beliau bergaul dengan penulis muda yang baru mula menapak dalam dunia penulisan.\nAzmah juga sangat teliti dan rinci dalam pendedahan emosi watak-wataknya. Dia menyorot watak-wataknya dengan resah gelisah dan fikiran bawah sedar. Hal ini juga menjadikan karya Azmah berbeza dan memiliki keperibadian yang tersendiri. Kajian terhadap karya-karya Azmah dengan menggunakan teori psikologi dan feminisme (Asmiaty, 2018) memperlihatkan bahawa Azmah seorang penulis yang teliti dalam pencitraan watak-wataknya, tidak kira watak wanita atau lelaki. Pencitraan yang menjangkau pencitraan emosi atau kejiwaan watak yang kebanyakannya digelar oleh pengkaji sebagai teknik penceritaan aliran bawah kesedaran, dan menjadi semacam pembentukan identiti kepengarangan penulis. Pembicaraan terhadap pemikiran dan citra watak-watak ciptaan Azmah mengakar kepada satu keinginan atau cita-cita penulis terhadap penonjolan wanita sebagai susuk yang perlu diberikan perhatian wajar.\nSatu perkara penting yang menjadikan Azmah turut menjadi sebutan ialah bentuk atau teknik penceritaan yang digunakannya dalam berkarya. Sungguhpun pada mulanya teknik jungkir balik yang ditekuni beliau agak sukar untuk difahami, namun ia semacam satu teknik yang menjadi tandatangannya. Teknik ini menyorot watak dengan jalinan imbas kembali yang banyak dan amat kompleks, malah dianggap sebagai suatu \u201cteknik Azmah\u201d. Teknik penceritaan sedemikian, dengan penggunaan bahasa yang meliputi simbol-simbol sekali gus mengangkat keperibadian atau identiti kepengarangan Azmah sebagai pengarang feminis ala Malaysia.\nAzmah bukan sahaja mampu bereksperimen dengan gaya kepengarangannya, malah kemampuan dan keprolifikannya dalam satu tempoh masa membantu menyumbangkan sesuatu yang amat berharga dalam dunia kesusasteraan Melayu. Kepengarangan Azmah yang agak berbeza ini menjadi satu fenomena dan memberi inspirasi kepada bentuk penulisan ramai penulis wanita selepasnya.\nSumbangan dan Pengiktirafan\nSehingga saat ini, yakni setelah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan dalam penulisan, Azmah masih seperti dahulu, tidak lokek dengan senyuman dan bantuan kepada penulis muda. Walaupun beliau sudah ada kedudukan tetapi masih aktif hadir dalam bengkel-bengkel penulisan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau badan penulisan lain. Kegiatan tersebut dianggap penting bagi memantapkan pengetahuannya dalam bidang yang diceburi. Kedudukannya sebagai penerima SEA Write Award pada tahun 2009 dan Sasterawan Sabah pada tahun 2021 tidak pernah menjadi halangan untuk beliau bergaul dengan penulis muda yang baru mula menapak dalam dunia penulisan. Kemesraan dan hubungan rapat beliau dengan pengarang muda memberikan beliau ruang dan peluang yang cukup besar untuk mengembangkan karya beliau sendiri dan menyalurkan pengalaman kepada pengarang muda yang lain.\nPada masa kini, beliau gigih melatih penulis-penulis muda dan kebanyakan mereka telah menjadi penulis yang telah mencipta nama. Nama seperti Ruhaini Matdarin, Rita Robert Rawantas, Kathirina Susanna Tati, Dayangku Mastura, Faridah Abdul Hamid, Ara Aranam, Lailah Elok, Azidah Abadi, Rafiqa, Nelson Dino, dan Franco Morrow merupakan antara nama penulis Sabah yang telah menyerlah dalam penulisan pada peringkat kebangsaan. Mereka datang dengan pakej lengkap, selain berbakat tetapi rajin menuntut ilmu daripada bengkel penulisan anjuran Azmah Nordin. Terdapat juga guru-guru yang baru mula belajar menulis memasuki bengkel-bengkel penulisan Azmah, sama ada bengkel penulisan cerpen, novel kanak-kanak atau novel remaja. Dengan pengalaman dan kedudukan yang dimiliki, beliau digelar sebagai \u201csifu\u201d, terutamanya oleh golongan penulis muda yang banyak menimba pengetahuan berkarya daripada beliau. Azmah tidak pernah lokek untuk memberikan pandangan dan tunjuk ajar kepada anak didiknya.\nKedudukan Azmah sebagai pengarang ketika ini merupakan satu pencapaian yang patut dibanggakan. Pendek kata, beliau bukan sahaja mengubah persepsi dan mampu bergerak seiring, malah mula mendahului para pengarang mapan yang lain di Sabah, malahan telah disetandingkan dengan sasterawan tersohor di Malaysia.\nKeinginan yang bertali arus dalam minda beliau menjadikannya pengarang yang sangat produktif, terutamanya dalam tempoh 1990-an hingga 2015. Banyak karya yang telah dihasilkannya dalam tempoh masa tersebut. Selain barisan novel-novel dewasa, remaja dan kanak-kanak, deretan cerpennya tidak boleh dikira dengan jari. Cerpen-cerpen ecerannya yang terbit dalam Wadah ataupun dalam majalah Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Pelajar, Dewan Cipta, Mingguan Wanita, Majalah Wanita, dan di akhbar tempatan seperti Berita Harian dan New Sabah Times juga dikumpulkan dalam kumpulan cerpen persendirian beliau seperti Singkowoton (1994), Bercak (1995), Wizurai (1997), Kasih Seputih Kemboja (2001), dan Titian Gelora (2005). Selain itu, beliau juga menghasilkan antologi cerpen bersama, iaitu Memintas Arus (1992), Bagai Camar di Lautan (1993), Kuntum Berputik (1996), dan Enigma (2015).\nNovel-novel beliau yang lain ialah Awang Kirana Mudir Besar (1996), Menongkah Lumrah (1996), Singgahmata\u00a0(1997), Syumul\u00a0(1998), Mega Nisaa\u00a0(2005), Lara \u00a0(2013), dan Gelora Menara\u00a0(2018). Kesemua novel tersebut membawakan latar, gaya dan tema yang tersendiri.\n\nDi samping novel dewasanya, beliau turut menghasilkan novel remaja dan kanak-kanak. Antara novel remaja yang telah diterbitkan ialah Setulus Sarina (1989), Kembara Planet (1989), Sewangi Hati Irani (1989), Timulak Kapal Perang (1989), Permata Biru (1989), Tiara (1989), Gadis Pinggiran (1990), Pejuang di Bawah Bayu (1990), Jauh Tidak Berantara (1990), Biarlah Kasihmu Terukir (1991), Janji (1991), Fatin (1991), Selamat Tinggal Sayang (1991), Ribut di Gua Gomantong (1992), Dewi Labu Kundur (1992), Sembilu Kasih (1992), Sitti Ariana (1993), Di Bawah Unggulnya (1993), Puteri Harapan (1994), Ima Puteri Air (1994), Tanaut (1994), Dilambai Debur Cinta (1994), Kewujudan Maya (1994), Impian Aquatik (1995), Merentas Selat (1997), Dedikasi di Planet Marikh (1999), Pesanan untuk Ira (1999), Bentongen (1999), Puteri Delima (2009), Uddin Putera Perkasa (2019), dan sebuah novel remaja sedang dicetak berjudul Temasya Cemara Merah.\nHasil karyanya jarang-jarang tidak memenangi hadiah atau mendapat tempat dalam peraduan menulis yang dianjurkan oleh badan penulisan kerajaan dan swasta. Sejak tahun 1986, iaitu pada awal masa aktifnya sebagai pengarang, karyanya sudah diperhatikan dan novel pertama beliau, Kukui telah memenangi hadiah penghargaan peraduan Hadiah Sastera Sabah. Kemudian \u00a0pada tahun 1988, novel kanak-kanaknya yang berjudul Noor Ainku Sayang memenangi hadiah kedua peraduan Menulis Novel Kanak-kanak anjuran DBP Kuala Lumpur.\nKejayaan Azmah merangkul anugerah melalui penulisan yang diperoleh dalam tempoh penglibatannya dalam dunia penulisan, menunjukkan kebolehan, keupayaan dan kegigihan Azmah dalam berkarya mempunyai rentaknya yang tersendiri.\nPenganjuran Peraduan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah tahun 1988/1989 merupakan tahun yang amat bertuah bagi pengarang ini. Karya beliau bukan sahaja memenangi hadiah daripada penulisan novel, malah cerpen-cerpennya juga diakui mempunyai nilai pemikiran dan kekuatan yang tersendiri. Novel Dukanya Abadi memenangi Hadiah Sastera Sabah, sementara novel Timulak Kapal Perang (1989) memenangi hadiah tempat ketiga dalam peraduan menulis novel sejarah anjuran Perpustakaan Sejarah Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Novel berikutnya, Dari dalam Cermin (1992) telah memenangi hadiah pertama Hadiah Sastera anjuran bersama DBP Sabah dan Jabatan Ketua Menteri Negeri Sabah. Sementelah itu, novel Debur Menerpa (1992) memenangi hadiah ketiga dalam peraduan yang sama. Novel-novel lain yang turut memenangi Hadiah Sastera Sabah ialah novel Syumul (1998/1999), Lara (2012/2013) dan Gelora Menara (2018/2019). Novel Menongkah Lumrah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia bagi tahun penilaian 1996/1997. Novel Menongkah Lumrah merupakan kemuncak pada pencapaian Azmah dalam penulisan novel.\nCerpen-cerpen beliau juga sering kali memenangi pertandingan menulis cerpen. Cerpen beliau, \u201cWizurai\u201d telah mendapat penghargaan dalam Anugerah Hadiah Cerpen pada tahun 1990 anjuran bersama DBP dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, sempena sambutan 100 tahun Kuala Lumpur. Pada tahun 1991, cerpen Azmah menang dalam Sayembara Menulis Cerpen anjuran Esso-GAPENA kali ke-VIII. Cerpennya yang bertajuk \u201cKuntum Perdamaian\u201d memenangi hadiah kedua dalam peraduan tersebut. Dalam tahun yang sama, cerpennya yang bertajuk \u201cMikrotome\u201d memenangi tempat pertama dalam Peraduan Menulis Cerpen Maybank-DBP (bagi kumpulan B), iaitu kategori umum.\nCerpen-cerpen beliau yang menghiasi dada akhbar dan majalah turut menjadi pilihan juri dalam penilaian anugerah pencapaian. Cerpen \u201cSingkowoton\u201d telah memenangi dua hadiah sekali gus, iaitu Hadiah Karya Sastera Sabah dan Hadiah Karya Sastera Malaysia (1992/1993). Cerpen \u201cPermainan Kematian\u2019\u201d pula memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada tahun 1996/1997, manakala cerpen \u201cKasih Seputih Kemboja\u201d memenangi Hadiah Sastera Malaysia pada tahun penilaian 2000/2001. Cerpen \u201cRahsia\u201d memenangi Hadiah Sastera Sabah pada tahun penilaian 2004/2005, cerpen \u201cKekasih\u201d dinobatkan sebagai salah satu pemenang Hadiah Sastera Sabah 2010/2011, sementara cerpen \u201cDengung\u201d dipilih sebagai pemenang pada tahun 2011/2012, dan pada tahun 2010/2011 cerpen \u201cUsus\u201d turut diberi anugerah yang sama.\nKejayaan Azmah merangkul anugerah melalui penulisan yang diperoleh dalam tempoh penglibatannya dalam dunia penulisan, menunjukkan kebolehan, keupayaan dan kegigihan Azmah dalam berkarya mempunyai rentaknya yang tersendiri. Tidak hairan jika beliau diletakkan sebagai pengarang wanita dalam bidang prosa yang agak kuat dan setanding dengan sasterawan lelaki yang lain.\nPemilihan Azmah Nordin sebagai Sasterawan Sabah ialah saat yang sangat ditunggu-tunggu. Kecemerlangan, kegemilangan dan keunggulan Azmah tidak seharusnya dipertikaikan, malah ketaatsetiaan beliau terhadap Sabah dibuktikan menerusi sumbangannya yang sangat besar, bukan sahaja kepada Sabah, tetapi juga kepada negara Malaysia amnya.\nBaca Bahagian Pertama Reaksi |\nGelora Imaginasi Sasterawan Sabah Azmah Nordin (Bhg. 1)\n\n_________________________\nAsmiaty Amat (Prof. Madya Dr. Hajah) ialah Pengarah Penerbit UMS dan Profesor Madya di Gugusan Pengajian Liberal, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah. Beliau banyak menghasilkan makalah ilmiah dan kritikan sastera untuk pelbagai persidangan dan jurnal kesusasteraan. Asmiaty ialah penulis buku kajian Menyingkap Gejolak Rasa dan Citra Azmah Nordin (2018)." "\u201cShahnon Sayangkan Bangsanya\u201d \u2013 Mohd Yusof Hasan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dato\u2019 Dr. Shahnon Ahmad ialah penulis yang sangat sayangkan bangsanya. Hal ini bukan hanya terlihat menerusi pembabitannya dalam politik, tetapi juga tertumpah dalam karya beliau.\nMalah, Shahnon mempunyai ketajaman minda dan kekuatan untuk menulis mengenai nasib Bumiputera menerusi novel Menteri yang terbit pada 1967.\nJusteru, bagi Prof. Emeritus Dato\u2019 Dr. Mohd Yusof Hasan, Shahnon ialah \u201canak bertuah\u201d, bukan hanya dalam bidang sastera tetapi juga sebagai ahli akademik dan pemikir.\nMohd Yusuf dalam acara Bicara Karyawan, \u201cBiografi Sasterawan Negara Shahnon Ahmad \u2013 Anak Nan Bertuah\u201d yang disiarkan secara langsung dalam Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka pada 27 September lalu, menyebut, karya beliau yang mengangkat soal politik itu sebenarnya testimoni jelas, kasih sayang Shahnon kepada bangsanya.\n\u201cDari segi penulisan, Shahnon agak keras, khususnya dalam bidang politik. Hal ini boleh dikaitkan secara langsung dengan pembabitannya dalam politik.\n\u201cTulisan begini adalah sebagai memberi peringatan dan menegur politikus, juga kita masyarakat awam,\u201d katanya.\nShahnon pernah menjadi Anggota Parlimen Sik bagi tempoh tahun 1999 hingga 2004 apabila membuat kejutan menewaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Dr. Abdul Hamid Othman di kerusi Parlimen Sik pada pilihan raya umum 1999 dengan kelebihan 478 undi.\nMohd Yusof berkata, selain Menteri yang menyentuh mengenai dilema politik watak utamanya, Bahadur, Shahnon turut mengangkat persoalan politik menerusi Perdana dan Sutan Baginda.\nMalah, masyarakat tentu tidak dapat melupakan novel beliau yang paling kontroversi, Shit selain novel Nurul Anak Papa.\nTegas Mohd Yusof sepanjang tempoh kepengarangannya, Shahnon sudah menghasilkan lebih 30 buah novel, 150 buah cerpen selain menghimpunkan 10 cerpen yang beliau terjemahkan daripada bahasa asing di bawah judul Setanggi Timur.\nSelain politik, Shahnon turut menyentuh perihal masyarakat yang tertindas oleh pentadbiran dan ahli politik, seperti naskhah Dongeng Merdeka, malah turut menulis mengenai Orang Asli dan juga merakam pengalamannya di luar negara.\n\u201cBeliau turut menghasilkan empat autobiografi sepanjang hayatnya,\u201d katanya.\nMohd Yusof yang banyak mengkaji naskhah Shahnon sejak peringkat sarjana muda lagi, merakamkan kajian beliau mengenai Shahnon menerusi sudut pandang penyelidik dan sahabat dalam naskhah Biografi Sasterawan Negara Shahnon Ahmad: Anak Nan Bertuah, sebagai rakaman memori mengenang jasa Shahnon memartabatkan sastera kebangsaan ke peringkat antarabangsa.\nShahnon yang dinobat sebagai Sasterawan Negara pada tahun 1982, meninggal dunia pada tahun 2017.\nTonton bicara penuh di sini.\nBeli Biografi Sasterawan Negara Shahnon Ahmad: Anak Nan Bertuah." "Pengarang yang Menentang Idealisme Kerajaan Sentiasa Akan Lahir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Pertentangan idea antara pengarang dengan pentadbiran sesebuah negara akan sentiasa berlaku di mana-mana sahaja. Hal ini disebabkan oleh kedudukan pengarang itu sebagai perakam zaman dan pemikir yang kritis.\nSasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari berkata, sejak dahulu pun, sejarah dunia mencatatkan banyak kerajaan menahan pengarang atas pertentangan idea mereka. Paling dekat dengan kita ialah Pramoedya Ananta Toer yang dipenjarakan hampir 14 tahun.\n\u201cMalah saya fikir, Pulau Buru itu bukanlah terkenal kerana kedudukannya sebagai pulau tetapi kerana rakaman Pramoedya terhadap pulau itu,\u201d katanya, sewaktu menjadi panel Bicara [email\u00a0protected], \u201cBicara Khas Sasterawan Negeri Kelantan \u2013 Merdekakah Sastera Kita?\u201d yang disiarkan dalam Facebook Perpustakaan Awam Kelantan, 29 September lalu.\nDalam sesi yang dimudahcarakan oleh Salman Sulaiman itu, Rosli berkata pada setiap zaman, akan lahir pengarang yang melawan kerajaan menerusi karyanya. Kritikan dan teguran itu akan membawa pelbagai jenis implikasi namun tidak akan menghentikan tugas dan niat pengarang.\n\u201cBenar atau tidaknya ditentukan oleh masyarakat. Keadilan dan kebenaran tidak semestinya ditentukan oleh mahkamah tetapi perubahan masa.\n\u201cPak Sako misalnya ialah pengarang yang bangkit menentang penjajah. Kita membaca pemikirannya dalam Putera Gunung Tahan dan Budak Beca. Hal ini menandakan, pengarang itu genius,\u201d katanya.\nTegas Rosli, kebebasan atau kemerdekaan bagi seseorang pengarang membawa pelbagai maksud. Bagi sebuah negara, merdeka bermaksud negara itu tidak lagi dijajah, tetapi kebebasan pula ialah hak untuk melakukan sesuatu tanpa halangan. Justeru bagi penulis katanya, kebebasan dan kemerdekaan itu selari.\nNamun dalam keadaan sekarang katanya, amat malang apabila masyarakat kurang menghargai sastera dan peranan pengarang sebagai perakam zaman. Hal ini boleh dilihat menerusi subjek Kesusasteraan Melayu yang berhadapan dengan kesukaran untuk diajar di sekolah.\n\u201cSastera boleh diajar di sekolah, malah Kementerian Pendidikan membenarkan sastera diajar dan tertakluk kepada pengetua sekolah itu hendak tawarkan atau tidak.\n\u201cTapi sayang, pengetua sekolah ini yang adakalanya terdidik daripada latar sastera dan kemanusiaan sendiri yang tidak mahu mengajarkan atau mengadakan pilihan subjek berkenaan di sekolah mereka.\n\u201cAmat sayang dalam sebuah negara bebas dan merdeka, pelajar tidak diberi peluang untuk memilih subjek itu. Bagaimana pelajar dapat memilih kalau pengetua tidak mahu tawarkan subjek itu untuk diajar?\u201d katanya.\nTonton bicara penuh di sini." "Pembentang SEBAHTERA IV Perlihat Kekuatan Sastera Tingkat Insaniah Manusia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKajian terhadap naskhah sastera Melayu melahirkan pelbagai wacana, khususnya dalam pembangunan nilai pencapaian manusia. Dalam Seminar Bahasa, Budaya dan Kesusasteraan Melayu IV (SEBAHTERA IV) anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau (IPGKK) Sabah, dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGKTAR) Kota Samarahan, Sarawak, Universitas Hasanuddin (UNHAS), Makassar, serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), barisan pembentang yang hadir daripada pelbagai latar belakang mengemukakan kajian mereka, khususnya dalam budaya sastera Melayu.\nDengan tema \u201cBahasa, Budaya dan Sastera Mendepani Era Revolusi Pendidikan\u201d, persoalan kaedah dan sejauh mana benarnya kemajuan insaniah manusia dapat ditingkatkan melalui naskhah sastera juga menjadi tumpuan perbincangan dan kajian para pembentang dan ahli akademik dalam SEBAHTERA IV, yang berlangsung pada 29\u201330 September lalu.\nPembentangan \u201cPemikiran Kritis dan Kemahiran Menyelesaikan Masalah dalam Pementasan Teater Hikayat Si Ikan Kering\u201d yang disediakan oleh Dr. Maria Tahir dan Chan Mun Varne dari Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM) membincangkan hal ini.\nChan Mun Varne menyatakan, kemahiran insaniah ialah elemen penting untuk menjayakan falsafah pendidikan kebangsaan yang melahirkan graduan yang lebih holistik, kuat jasmani, emosi, dan nilai intelektual.\nChan dan Dr. Maria telah meneliti pengaplikasian pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah melalui pengamatan secara mendalam terhadap pementasan drama teater Hikayat Si Ikan Kering.\nKata Chan menerusi pembentangannya, \u201cSaya dapati, pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah dapat dirangsangkan melalui teknik penceritaan drama, kerana drama ialah satu skop sastera yang paling dekat dengan kehidupan manusia.\u201d\nMenurut beliau lagi, manusia boleh mengadaptasi pemikiran kritis yang terkesan dengan penyampaian sebuah drama yang berkaitan. Sesebuah pementasan drama yang kaya dengan nilai insaniah dapat memantulkan sifat-sifat dan kelakuan manusia. Hal inilah yang menjadi kaedah utama mendidik jiwa dan rohani.\nPendekatan Teori Pengkaedahan Melayu ciptaan Prof. Hashim Awang juga menjadi wadah yang boleh meningkatkan nilai kemahiran insaniah seseorang. Cabang terakhir dalam teori Hashim Awang itu, Pendekatan Dakwah dan Pendekatan Kemasyarakatan, menjadi tajuk perbicaraan oleh salah seorang pembentang SEBAHTERA IV.\nMenerusi pembentangan \u201cKeunggulan Dakwah dan Ekspresi Kemasyarakatan Di Bawah Lindungan Ka\u2019bah\u201d yang disampaikan oleh Norhidayah, menampilkan novel Buya Hamka, Di Bawah Lindungan Ka\u2019bah mampu menunjukkan kesan mendidik insaniah melalui wadah sastera.\nNorhidayah menyatakan, Islam amat menekankan kepentingan ilmu pengetahuan dan menggalakkan setiap umatnya supaya menuntut ilmu kerana menuntut ilmu juga ibadah.\n\u201cMalah, al-Quran turut mengingatkan keutamaan dan kepentingan menunut ilmu, kerana Islam memandang tinggi akan orang yang berilmu pengetahuan,\u201d tambah Norhidayah.\nAspek pelajaran merupakan isu dominan yang diketengahkan dalam novel Di Bawah Lindungan Ka\u2019bah, kerana keberadaan pengarangnya yang menyedari kepentingan membentuk generasi muda yang berilmu dan berjiwa pelajar.\nPendekatan di bawah pengkaedahan keagamaaan, iaitu dakwah dan kemasyarakatan yang terdapat dalam Teori Pengkaedahan Melayu telah ditonjolkan melalui naskhah Buya Hamka tersebut, dan pendekatan yang terdapat dalam filem adaptasinya pada tahun 2011 itu juga adalah sangat relevan dan signifikan,\u201d jelas Norhidayah, menyimpulkan bicara.\n\u201cKajian ini juga diharapkan dapat memberikan pendedahan kepada masyarakat untuk mengambil tauladan dalam kehidupan, juga dengan harapan dapat menyediakan ruang buat pengkaji-pengkaji lain untuk menyumbangkan idea, di samping menambah baik kelopongan yang ada dalam kajian kritikan sastera.\u201d" "Nilai Sosiobudaya dan Kritikan Masyarakat dalam Cerpen Semasa Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Hingga kini, karya-karya penulis Sarawak begitu malar segar dan mempunyai kelainan serta keistimewaan tersendiri. Kekayaan Sarawak dari sudut kepelbagaian etnik, warisan budaya dan sejarah kemanusiaan telah menghidupkan semangat sasteranya. Hal ini diakui oleh Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail dalam program yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam Syarahan Perdana Sasterawan Negara, \u201cWarisan Budaya dan Perubahan Nilai Kemasyarakatan: Cerpen Semasa Sarawak\u201d pada 20 September lalu.\nSiti Zainon mengulas kajian dan kritikan sasteranya terhadap empat buah cerpen karya penulis Sarawak yang mencakupi aspek sosiobudaya, politik, sejarah, kesenian, adab, dan konsep budaya hidup dalam kalangan etnik di wilayah tersebut. Tema-tema ini menjadi gagasan pemikiran penulis-penulisnya yang mengambil serius dan cakna terhadap sejarah dan perkembangan Sarawak sejak sebelum pemerintahan Raja James Brooke, zaman Sarawak di bawah kekuasaan British sepenuhnya dan era kini. Tema-tema yang diangkat dalam karya-karya sastera memperlihatkan tahap keprihatinan penulis-penulis Sarawak dalam menyedarkan khalayak pembaca, tentang peri penting menghargai sastera lisan atau sastera rakyat dan kepentingan mengekalkan warisan budaya dan bangsa di wilayah tersebut khususnya, dan Malaysia amnya.\nJelas Siti Zainon, songket atau busana Sarawak, identiti etnik yang merangkumi kepelbagaian budaya, seperti Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan Melayu Sarawak misalnya, akan tenggelam ditelan zaman andai tiada usaha memeliharanya meski daripada tradisi tulisan sekalipun. Ceritera ini akan mati dan generasi kini tentunya tidak akan kenal nilai budaya yang diamalkan oleh masyarakat yang melahirkannya.\n\u201cJika orang budaya menganggap sastera tidak penting, bagaimana mereka mahu mendapatkannya?\u201d soal Siti Zainon ketika menjelaskan kepentingan dan peranan penulis dalam jalur sastera di Sarawak.\n\u201cLibau\u201d misalnya, cerpen yang ditulis oleh Abang Patdeli Abang Muhi telah mengangkat persoalan budaya dan nilai moral yang berlaku kepada sebuah masyarakat setelah kematian penghulunya di Rumah Bajau. Tercetus pelbagai konflik budaya, moral, sosial dan adab, ekoran kemasukan \u201corang luar\u201d dalam kalangan kakitangan kerajaan dan peneroka tanah (terjadi kepelbagaian penipuan) yang membawa kepada perubahan nilai, sikap serta budaya adat hingga tercemar.\nMinuman-minuman keras seperti menjadi kebiasaan baharu yang telah merosakkan sistem adat dan tradisi etnik yang dahulunya kuat berpegang pada nilai-nilai tradisional yang santun dan beradab dalam kehidupan. Keberanian penulisnya mengolah situasi semasa yang berlaku dalam masyarakat di Sarawak, wajar diberi perhatian kerana pengkaryaan sebegini merupakan dakwah secara senyap yang mampu menyedarkan khalayak pembaca.\nSastera dari sudut sosiobudaya yang dikarang oleh Abang Patdeli ini, merupakan rakaman simpatinya yang mewakili gema hati dan kebimbangan masyarakat terhadap penyakit sosial yang masuk ke kampung-kampung dan menembusi sistem tradisi kemasyarakatan di Rumah Bajau.\nCerpen kedua yang diulas oleh Siti Zainon ialah karya Jaya Ramba, bertajuk \u201cBara Rimba Yang Menyala\u201d. Cerpen ini mengisahkan latar kepercayaan Orang Ulu terhadap perkahwinan sesama adik-beradik. Hal ini mendapat pertentangan daripada seorang gadis, bernama Sayan apakala disuruh mengahwini abang kandung oleh ibu dan ayahnya. Keberanian Sayan menentang nilai warisan ini memaparkan kekritisan pemikirannya terhadap budaya dan nilai ritual lama yang bercanggah dengan agama. Antara petikan penting dalam cerpen ini ialah kata-kata Sayan yang berbunyi: \u201cAku tidak berdosa membayang yang buruk, menerima yang baik,\u201d ketika menyatakan penolakannya tidak mahu mengahwini abang kandungnya sendiri. Meski pergolakan berlaku antara Sayan dengan ibu dan ayahnya yang kuat berpegang pada kepercayaan lama, namun situasi begitu aman kerana kasih sayang kuat mengikat antara mereka.\n\u201cInilah kejujuran pengarang, Jaya Ramba membuka rahsia yang tidak diketahui berlaku dalam budaya di Sarawak yang mungkin tinggal cebisan sahaja,\u201d jelas Siti Zainon.\nManakala Yusuf Mustanir pula merupakan pengarang yang menulis cerita tentang Rosli Dhoby kerana terpukau dengan riwayat hitam pejuang tersebut. Siti Zainon mengumpamakan Yusuf Mustanir sebagai seorang penglipur lara moden, kerana cerpennya mampu mengangkat kisah Rosli Dhoby sebagai pejuang nasionalisme dan antikolonialis Sarawak. Keberanian Rosli Dhoby yang memancarkan pemberontakan jiwa anak muda terhadap penjajahan Bristish di Sarawak, ialah gambaran riwayat hidup sebenar pejuang tersebut yang pada akhirnya diingati sebagai pemuda berusia 18 tahun yang berani menikam Gabenor British, Sir Duncan George Stewart pada 3 Disember 1949.\n\u201cSukar sekali menangkap cerita ini kerana wataknya aku dan dia. Diakhirnya barulah dapat saya fahami bahawa ceritanya ialah kisah Rosli Dhoby kerana pengarangnya ada memaklumkan tentang buku yang dibacanya,\u201d ujar Siti Zainon.\nTerakhir, beliau mengulas cerpen \u201cPusara Marhum Satu Lima Dua\u201d karangan Abang Saifuddin Abang Bohari yang jelas tidak dapat menyembunyikan keresahannya terhadap isu bahasa Melayu yang dikuburkan oleh politikus. Meskipun jelas perjuangan memartabatkan bahasa Melayu telah bermula sejak menjelang kemerdekaan Malaysia, namun ia terkubur di Parlimen meskipun telah diwartakan dalam Akta 152. Kisah benar yang memaparkan citra keranda oleh penggiat dan aktivis bahasa Melayu telah tiga kali berlaku bermula pada tahun 1967, apabila keranda diarak sebagai tanda protes dan simbolik kepada kerajaan Malaysia yang tidak menepati janji untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar dan bahasa dalam bidang kehakiman.\nAntara tokoh terpenting yang menzahirkan protes tersebut ialah Tun Syed Nasir Syed Ismail, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada tika itu dan juga Sasterawan Negara Usman Awang.\nKata Siti Zainon, \u201cKita tidak boleh menipu sejarah dan perlu berani. Telah tiga kali peristiwa keranda diarak dan terakhirnya ketika penentangan program PPSMI yang mengangkat bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar dalam matapelajaran Sains dan Matematik. Inilah usaha yang dicabar oleh pengarangnya, iaitu Abang Saifuddin Abang Bohari kerana kepekaan dan sensitivitinya terhadap penggunaan bahasa Melayu yang diremehkan oleh politikus-politikus.\u201d\nPada akhir program, beberapa persoalan daripada penonton diangkat, termasuk: adakah boleh berkomunikasi dalam dialek negeri masing-masing dan jawab Siti Zainon tiada salahnya, namun harus difahami agar tidak memecahkan akar budaya. Dahulu, diperjuangkan bahasa Melayu baku sebagai bahasa dalam urusan rasmi kerajaan namun kini, masing-masing menggunakan dialek negeri sendiri. Hal ini tidak seperti di Jepun, Indonesia, Korea dan Jerman yang mempunyai bahasa rasminya tersendiri meskipun mereka ada dialek etnik dan bangsa sendiri. Manaka persoalan tentang peranan ahli politik dalam bahasa pula, Siti Zainon menegaskan bahawa para pembantu ahli politik perlu membantu ahli-ahli politik dalam penggunaan bahasa Melayu." "Perkenalkan Novel Menerusi Kombo Sastera-Muzik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPenstriman langsung bukan lagi suatu perkara asing masa kini. Penerbit dan penulis tempatan semakin aktif menggunakan reruang media sosial bagi mempromosikan buku-buku, membina hubungan dengan pembaca dan mengadakan bengkel penulisan.\nNusa Centre yang telah menerbitkan 40 buah buku sastera membawakan program Buku & Lagu, sebuah program santai yang membicarakan buku, mendengar lagu dan kisah kehidupan. Dalam pada itu, empat karya baharu S.M. Zakir diterbitkan oleh Nusa Centre baru-baru ini, novel Cerita Sebuah Rumah, buku esei Karya dan Kekuasaan Pengarang, dan buku travelog Catatan dari Formosa (Jilid 1 dan 2).\nDalam acara pembuka siri Buku & Lagu, S.M. Zakir membicarakan novel Cerita Sebuah Rumah yang ditemani oleh pemuzik antarabangsa Spec, yang menyanyikan lagu dan berkongsi pengalamannya bekerja dengan kapal persiaran mewah antarabangsa.\nNovel Cerita Sebuah Rumah ditulis oleh S.M. Zakir 10 tahun dahulu, berkisarkan susur galur lelaki yang melarikan diri akibat peperangan, perjuangan menentang penjajah, konflik dalam perkahwinan, dan banyak kisah yang menarik, termasuklah perjuangan orang Melayu menentang Inggeris.\n\u201cWalaupun novel Cerita Sebuah Rumah telah ditulis lama dahulu, penceritaan yang dimasukkan masih lagi relevan,\u201d kata S.M. Zakir.\nSpec berkongsi tentang prosesnya untuk menjadi pemuzik yang bermula agak lewat kerana gigih berlatih muzik. Kerjayanya sebagai pemuzik sepenuh masa bermula pada umur 29 tahun. Berbeza daripada bermain muzik di hotel, bekerja di atas kapal mempunyai pengalaman yang sangat unik dan memerlukan disiplin tinggi, walaupun sebagai seorang pemuzik.\nS.M. Zakir dan Spec bertukar-tukar pengalaman mereka ke luar negara dan bagaimana perasaan gembira berjumpa dengan orang Malaysia dan bertutur dalam bahasa Melayu di tanah asing. Perkongsian pengalaman mereka akan diteruskan dalam sesi seterusnya.\nLagu-lagu yang dimainkan oleh Spec ialah To Love Somebody oleh Bee Gees, Xiao Wei oleh Huang Pin Yuan, dan berduet bersama S.M. Zakir dalam lagu Ku Di Halaman Rindu oleh Lefthanded dan Soldier of Fortune oleh Deep Purple. Lagu Xiao Wei ditulis oleh mendiang Adi, komposer dari Malaysia dan lagu ini popular di Taiwan.\nProgram Buku & Lagu \u201cCerita Sebuah Rumah\u201d, disiarkan secara langsung menerusi Facebook Nusa Centre dari Studio Nusa Centre, pada 1 Oktober 2021 pada pukul 9.00 malam.\nTonton acara penuh di sini.\nBeli Cerita Sebuah Rumah." "Duta Muda Bahasa, Pemangkin Legasi Masa Depan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSemasa melayari laman web Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini, pandangan penulis terhenti sebentar pada bahagian info terkini yang mempamerkan poster Pentas Akhir Pencarian Duta Bahasa, \u00a0dengan tertera senarai nama pendek yang bertanding pada peringkat akhir. Pertandingan \u00a0yang sudah berlangsung pada September 2022 lepas adalah anjuran DBP\u00a0Wilayah Selatan berserta\u00a0dengan\u00a0ganjaran hadiah wang tunai di samping sijil dan hadiah sampingan lain. Terdapat pelbagai syarat yang diletakkan oleh pihak penganjur kepada calon yang menyertai pertandingan tersebut. Satu usaha yang berani daripada DBP untuk terus mencari legasi penyambung bahasa kebangsaan negara.\nSecara keseluruhannya, kredibiliti pencarian duta bahasa ini mestilah cekap dari aspek kognitif, psikomotor dan juga afektif serta perlu menguasai bidang bahasa dan sastera. Tidak dinafikan\u00a0bahawa\u00a0kriteria ini sangat mencabar, sesuai dengan fungsinya sebagai duta bahasa. Duta bahasa ialah wakil sah yang dilantik oleh sesebuah kerajaan atau institusi yang bertanggungjawab memperkasakan bahasa Melayu sama ada di dalam\u00a0negara\u00a0mahupun di luar negara.\nDuta bahasa ialah individu yang mesti berbangga berbahasa Melayu dan menjiwai sastera Melayu serta mempunyai keyakinan, sentiasa bersikap komunikatif dan berketrampilan\u00a0untuk menyebatikan bahasa dan sastera Melayu dalam kalangan masyarakat agar menggunakan dua bidang yang berkolerasi ini dengan tepat dan betul.\nSebelum ini, Zuraini Jusoh (2021) pernah menulis artikel tentang \u201cMalu Jadi Duta Bahasa Melayu?\u201d\u00a0sebagai menangkis pandangan segelintir masyarakat yang memperlekeh kemampuan bahasa Melayu di persada antarabangsa. Kini, keluarga Malaysia boleh berasa \u201cduduk sama rendah dan berdiri sama tinggi\u201d apabila Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob telah melakar nama sebagai ketua tertinggi kerajaan yang pertama berucap sepenuhnya dalam bahasa Melayu di pentas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77, New York, Amerika Syarikat. Beliau disambut selayaknya sebagai adiwira negara dan sekali gus menjadi contoh sebagai duta bahasa yang berpegang pada jati diri bangsa.\nHal ini juga telah menarik perhatian tokoh bahasa negara. Antaranya termasuklah YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, yang mengekspresikan rasa gembira dengan kesungguhan Perdana Menteri melaksanakan kata. Selain itu, penutur bukan asli di luar negara juga tidak ketinggalan mengucapkan syabas dan tahniah.\nMisalnya, Dr. Victor A Pogadaev, sejarawan dan penterjemah bahasa Rusia dan Koh Young Hun, Profesor Jabatan Pengajian Melayu Indonesia di Universiti Hankuk, Korea Selatan. Kedua-dua ahli akademik ini menyatakan bahawa Perdana Menteri Malaysia telah mempromosikan\u00a0dan memartabatkan bahasa Melayu di mata dunia selari dengan diplomasi kebudayaan yang menjadi antara inti\u00a0pati dalam kerangka Dasar Luar Negeri Malaysia yang dilancarkan pada bulan Disember 2021.\nMelihat perkembangan positif ini, DBP ialah institusi yang paling layak diangkat menjadi peneraju untuk melatih dan seterusnya melahirkan kelompok yang penulis gelarkan sebagai \u201cduta muda bahasa\u201d. Kerjaya sebagai duta muda bahasa perlu dicipta untuk generasi muda yang berkelayakan. Kita tidak ingin pencarian duta bahasa terhenti begitu sahaja dan hanya berbentuk pertandingan semata-mata.\nLanjutan hal itu\u00a0memerlukan dokongan, komitmen dan kegigihan yang berterusan serta ijtihad untuk melahirkan duta muda bahasa yang berkaliber. Bagi mengenal pasti calon duta muda bahasa, tahap penilaian kelayakan, temu duga secara personal, ujian kecekapan kognitif, psikomotor dan afektif pada setiap fasa selain ujian lapangan perlu dilaksanakan. Penilaian ini perlu dikendalikan oleh kumpulan profesional yang berpengalaman dalam bidang bahasa dan sastera.\nCabaran ini bagi memastikan bahawa duta muda bahasa yang dilantik ialah seorang yang tepat dan dapat melaksanakan tugas besar negara di samping menghayati dan mempraktikkan bahasa dan sastera Melayu. Dengan\u00a0cara\u00a0itu, gred jawatan dan skim gaji juga perlu berpatutan, selaras dengan tugas yang diberikan. Dari sudut pandang yang lain, kerjaya ini dapat menyanggah sentimen berpanjangan ketidak boleh pasaran bidang bahasa dan sastera.\nPelantikan duta muda bahasa untuk memasyarakatkan penggunaan bahasa dan sastera juga akan meningkatkan semangat dan keterujaan generasi muda mendalami kedua-dua bidang ini. Kesannya, generasi muda akan dapat melihat kepentingan dan perkaitan antara bidang ini dalam kehidupan seharian. Penerangan ini sememangnya membutuhkan aplikasi digital, seiring dengan kepesatan teknologi global dan gaya penyampaian juga perlu berbentuk hiburan tetapi kaya dengan ilmu. Di sinilah pendekatan dan gaya kemahiran komunikasi pemujukan duta muda bahasa akan teruji.\nDuta muda bahasa perlu menyedarkan dan mampu mengajak golongan sasaran bahawa bahasa dan sastera adalah bidang yang berupaya mencipta peluang pekerjaan selain dapat membina karakter diri dan juga berfungsi sebagai bahasa perpaduan. Kerisauan penulis ini timbul\u00a0sedikit\u00a0dalam hal ini apabila generasi muda mula berkiblatkan jati diri dan mengagungkan bahasa dari negara luar. Justeru itu, duta muda bahasa perlu bersifat mampan, terbuka serta kukuh daya tahan emosi dan fizikal.\nSelain melatih generasi muda yang berumur sekitar 18\u00a0tahun\u00a0hingga 30 tahun, duta muda bahasa juga boleh dilantik dalam kalangan guru-guru bahasa Melayu yang profesional. Pada tahun 2011, Malaysia telah menerima kehadiran guru-guru import untuk mengajar bahasa Inggeris di sekolah-sekolah perdana. Oleh itu, sebagai timbal balik, penghantaran guru bahasa Melayu yang profesional ke luar negara, terutamanya negara yang memerlukan pengajaran bahasa Melayu perlu direalisasikan.\nUsaha ini sebagai tanda sokongan mengantarabangsakan bahasa Melayu. Dengan adanya program bahasa Melayu di institusi luar negara, sudah tentu akan menarik minat pelajar asing untuk belajar bahasa ibunda dan seterusnya menyambung pengajian di Malaysia. Namun begitu, usaha ini memerlukan iltizam dan juga persediaan kewangan dan fizikal yang rapi kerana melibatkan penajaan kepada pelajar asing selain imbuhan atau insentif khas dan guna tenaga guru-guru profesional.\nNamun\u00a0begitu, kita perlu positif dalam perkara ini kerana usaha ini akan dapat menyebarkan bahasa tercinta sama ada di dalam atau di luar lingkungan diaspora Melayu. Dalam hal ini, tuntutan peribahasa Melayu\u00a0seperti\u00a0\u201cbersatu kita teguh, bercerai kita roboh\u201d perlu ditanamkan di setiap kalbu keluarga Malaysia.\nSementara itu, duta muda bahasa juga dapat diperpanjangkan kepada golongan menteri dan pegawai kanan di kementerian yang berkepentingan. Hal ini kerana menteri ialah imej\u00a0bagi\u00a0rakyat. Kita tidak ingin pemikiran masyarakat dibelenggu dengan berita yang bertajuk seperti\u00a0\u201cPenguasaan Bahasa Melayu Menteri Masih Banyak Perlu Diperbaik\u201d. Oleh itu, menteri perlu turun padang dan bersama-sama menggunakan bahasa Melayu dengan betul.\nMungkin juga\u00a0nama duta muda bahasa dapat digantikan dengan nama yang lebih effektif dan sejajar dengan jawatan yang disandang. Apabila pihak menteri menunjukkan contoh yang baik, tidak mustahil rakyat akan meneladaninya, ibarat kepemimpinan melalui teladan dan juga menjauhkan sikap seperti baling-baling di atas bukit yang menunjukkan pendirian tidak tetap, khususnya dalam suatu perkara yang sudah diputuskan oleh ketua pemimpin.\nDuta muda bahasa dapat direalisasikan dengan adanya keutuhan solidariti daripada semua pihak. Duta muda bahasa bukan sahaja bertanggungjawab dalam memperkasakan bahasa dan sastera di luar negara tetapi juga di dalam negara. Oleh itu, tugas berat ini perlu diringankan dengan adanya kerjasama daripada semua pihak.\nPendekatan seperti bermain yoyo perlu dijauhkan agar semua kitaran masyarakat dapat mengetahui kewujudan dan amanah yang dijalankan oleh duta muda bahasa sekiranya lantikan ini dapat dijadikan kenyataan. Duta muda bahasa ialah pemangkin kesedaran dan menaikkan semangat generasi muda untuk terus berjuang meletakkan bahasa dan sastera Melayu di tempat yang sewajarnya.\n\u201cIndah pada bahasa tetapi tidak indah pada cara, akan mendatangkan kesalahan pada pandangan mata\u201d \u00a0~Salmah Jan, 2022~\n\u00a0\n\u00a0\nProfesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad \u2212 Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, yang juga merangkap Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan." "Fiksyen Bukan Sumber Ilmu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Apakah layak penulisan fiksyen diteruskan? Apakah layak fiksyen dianggap sebagai sastera? Dan, apakah layak kesusasteraan meminggirkan fiksyen?\nTiga soalan itu disimpulkan oleh Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd Zariat Abdul Rani ketika membentangkan kertas kerja \u201cFiksyen Sebagai Sumber Ilmu: Beberapa Pengamatan Terhadap Kesusasteraan Moden\u201d dalam Siri Wacana ATMA (12) Kesusasteraan: Antara Tawassur Islami dengan Paradigma Barat yang disiarkan secara langsung dalam Facebook Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia pagi tadi.\nMohd Zariat berkata, kesemua soalan itu berpunca daripada kedudukan fiksyen itu sendiri yang dianggap sebagai rekaan, diinspirasikan daripada pengalaman empirikal dan imaginasi penulis.\nFiksyen katanya, selalu dianggap rekaan. Malah, dalam dokumentasi fiksyen selalu tercetak bahawa karya berkenaan adalah rekaan semata-mata\nNamun dalam hal yang lebih jelas, fiksyen ialah konsep yang dibawa dari Barat dan berkait rapat dengan tradisi intelektual Barat.\n\u201cSebelum kemunculan fiksyen, tradisi keintelektualan di Barat banyak diwarnai oleh pandangan hidup Yunani berasaskan mitos dewa-dewa dan tokoh Yunani, dan kemudiannya tradisi gereja Roman-Katolik yang bersumberkan Injil.\n\u201cPada abad ke-18 dan 19 Masihi, muncul modenisme yang memisahkan dirinya daripada sebarang bentuk tradisi, terutama keagamaan,\u201d katanya.\nModenisme ini katanya ialah gabungan pengalaman empirikal dan nilai individu yang mendasari falsafah fiksyen, lalu menjadi ciri utama karya sastera moden dan melahirkan bentuk karya seperti novel, cerpen, drama, dan sajak.\nAliran ini katanya dibawa oleh penjajah ke Tanah Melayu, melahirkan sejumlah pengarang yang menghasilkan karya dalam genre berkenaan dalam bahasa Melayu.\n\u201cDan ini boleh kita lihat melalui wujudnya polemik dalam sastera Melayu moden itu berkaitan dengan fiksyen, misalnya penghasilan novel seperti Salina oleh Sasterawan Negara A. Samad Said yang disokong oleh Keris Mas yang ketika itu editor penerbitan di Dewan Bahasa dan Pustaka kerana ia mencerminkan falsafah seni untuk masyarakat.\n\u201cBagaimanapun, naskhah ini dihambat kontroversi, ditolak oleh panel Peraduan Menulis Novel 1958 kerana seolah-olah membela pelacur, tetapi disokong Prof. A. Teeuw pada tahun 1964, tetapi ditolak oleh Shahnon Ahmad sebagai watak yang bergelumang dengan dosa pada tahun 1979, tetapi kemudian dilihat sebagai naskhah yang membawa pembaharuan oleh Panel Anugerah Sastera Negara 1985, namun ditolak pula oleh Mohd. Affandi Hassan pada tahun 1990 kerana mengangkat kejahatan sebagai tema utama,\u201d katanya.\nNamun begitu, Salina bukanlah satu-satunya contoh kerana jika kita melihat polemik naskhah tulisan Shahnon, Tivi, novel itu juga seperti Salina, mengangkat kejahatan sebagai tema utama, walaupun tegas Mohd Zariat, Shahnon melihatnya sebagai \u201ckarya mithali Islam\u201d.\nJusteru katanya, dalam kesusasteraan Melayu moden, fiksyen sebagai sumber ilmu masih menjadi pertikaian, apatah lagi jika hal ini dilihat dalam kerangka berasaskan Islam.\nTonton wacana penuh di sini." "Adaptasi Sastera kepada Layar Perlu \u201cCurang\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBukit Mertajam \u2013 Era yang mula memperbesar kegiatan adaptasi novel kepada layar pada peringkat tempatan dikatakan berlaku pada dekad 2000\u20132010. Stesen-stesen televisyen dan penyiaran filem ketika itu berlumba-lumba merebut peluang mengadaptasikan novel-novel popular kepada medium seni visual. Malah, untuk menghasilkan seni visual, proses utama yang perlu sebelumnya adalah dengan menulis lakon layar.\nTerdapat wacana hangat dalam proses ini, iaitu adakah \u201ckecurangan\u201d dan kesetiaan terhadap sumber asal cerita akan tetap dan sentiasa berlaku dalam proses pemindahan karya? Persoalan keperluan serta sejauh mana perubahan akan berlaku juga adalah antara persoalan yang berlegar dalam fikiran peminat serta penggiat filem dan sastera.\nProgram bual bicara bersempena Dekad Membaca Kebangsaan, Bual Bicara: Daripada Novel kepada Skrin yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang pada 5 Oktober 2021 (Selasa), pukul 3.00 petang, mengangkat wacana ini.\nDr. Mohd Shahremy Ikmal Shahbudin, novelis dan penulis skrip drama yang kini bertugas sebagai pensyarah di Bahagian Kesusasteraan, Universiti Sains Malaysia melalui bual bicara ini menjelaskan, dalam menghasilkan naskhah adaptasi novel kepada layar, penulis skrip berdiri sebagai pengantara. Shahremy malah berkedudukan, sasaran menghidupkan semula dan menaikkan citra sebuah cereka sastera melalui adaptasi kepada medium layar merupakan peranan utama beliau sebagai penulis skrip.\n\u201cDalam penulisan lakon layar adaptasi, saya gemar menggunakan ayat \u2018jaga hati\u2019 kepada penulis sumber asal, kerana sebagai penulis novel, saya faham akan kesukaran untuk menyusun perkataan dalam garapan sesebuah cerita.\n\u201cNamun begitu, perubahan yang dirasakan \u2018perlu\u2019 akan tetap dilakukan.\u201d Beliau juga menyatakan, antara tekanan besar menghasilkan karya adaptasi ialah khalayak pembaca.\nMengakui cabaran yang dilalui, Shahremy malah rasa kesal dan berat hati jika gagal menghasilkan skrip lakon layar adaptasi yang menepati cita rasa penulis asal serta khalayak pembaca. Shahremy sempat menambah, faktor kesempitan ruang untuk berhubung dengan penulis berlaku kerana batas masa dan batas pilihan daripada pihak penulis lakon layar.\nMohd Fairuz Padoli, atau lebih dikenali sebagai MF Kencana, juga penulis skrip filem dan drama tempatan pula berpendapat yang proses adaptasi atau pemindahan karya sememangnya harus dilakukan beberapa perubahan dan perkembangan, supaya dapat menyesuaikan kandungan ceritanya dengan rona filem. Penulis novel pula perlu memahami proses ini, atas alasan pihak pembuat filem yang terikat dengan banyak kekangan. Pengalaman Fairuz sendiri, penulis-penulis novel yang telah diadaptasikan karya mereka oleh beliau kebanyakannya dapat bertolak ansur dan memegang prinsip, asalkan ideologi dan plot utama sumber asalnya tidak terlalu jauh berubah.\n\u201cProses pemindahan karya memang memerlukan sedikit pengorbanan kerana fitrah dua medium ini yang tidak sama. Kadang-kadang, babak yang memakan empat hingga lima muka surat novel akan dihidupkan semula hanya dalam satu hingga dua baris sahaja medium skrip.\u201d Tambah Fairuz, novel yang kebiasaannya 200 hingga 300 halaman akan diubah kepada 90 dan 120 halaman lakon layar sahaja.\nMenariknya, berlaku juga proses transisi daripada naskhah cerpen yang hanya lapan hingga sepuluh halaman, kepada lakon layar yang berkali-kali ganda halamannya.\n\u201cDi sini, kreativiti seorang penulis lakon layar akan dicabar dan diuji, kerana memang transisi yang menarik sebegini biasa berlaku. Pengalaman saya, melalui sumber asal cerita itu (dalam kes ini, cerpen), penulis lakon layar perlu memeram idea apakah yang akan berlaku pada 30 minit pertama filem, dan 30 minit terakhir filem, serta satu jam di antaranya.\n\u201cDi sinilah berlakunya penambahan watak serta penterjemahan dialog, kerana cerpen memang tidak berjela-jela dialognya,\u201d ulas Fairuz.\nMaizura Ederis, penulis skrip yang prolifik dalam kerja menulis lakon layar adaptasi novel menyatakan, adalah lumrah bagi proses adaptasi karya yang akan berlaku \u201ckecurangan\u201d atau kesetiaan. Beliau menegaskan bahawa adaptasi yang berjaya ialah adaptasi yang \u201ccurang\u201d dengan karya asalnya.\n\u201cNovel menjual aksara-aksara, filem dan drama pula menjual gambar, asasnya perubahan medium ini memerlukan proses adaptasi menghasilkan naskhah yang berjaya, \u201d jelas Maizura.\nMenurut beliau, keadaan novel yang mempunyai keindahan kata-kata kebiasaannya bertiangkan monolog dan kepuitisan bahasa, dan hal ini malah menimbulkan sebuah persoalan, bagaimanakah caranya untuk menterjemahkan kata-kata indah daripada novel kepada medium visual, seperti perbuatan dan gerak kamera?\nMaizura menyimpulkan, kritikan dan kecaman yang berlaku terhadap hasil adaptasi sebenarnya berpunca daripada harapan pembaca (sumber asal), namun sebagai pihak yang bertanggungjawab memecahkan ayat sastera kepada gambar, aksara keterangan kepada perbuatan, kecurangan merupakan perkara yang tidak dapat dielakkan. Bual bicara ini dikendalikan oleh Dr. Wan Hasmah Wan Teh.\nTonton bual bicara penuh di sini." "Menulis Bukan Mengejar Kolum dan Hadiah!\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Rosli K. Matari dalam siri akhir Bengkel Cerpen Hujung Minggu anjuran Liga Penulis Kelantan, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dan PERADABAN minggu lalu mengangkat cerpen \u201cNasinya Tumpah\u201d karangan Fatimah Busu sebagai salah satu cerpen terbaik yang pernah dihasilkan oleh penulis Kelantan. Nada keharuan yang termuat dalam cerpen tersebut, yang berupa sebuah karya tragedi, mampu menitiskan air mata sesiapa sahaja yang membacanya. Jika novel, antara karya besar Nusantara yang mampu menitiskan air mata pembaca ialah karya Buya Hamka, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.\nRosli menasihatkan para peserta bengkel agar tidak menyimpan karya yang gagal. \u201cBuang, sebab (karya) itu beban,\u201d katanya. \u201cPerlu pastikan sejauh mana keberkesanan karya. Bukan semestinya kena tulis puisi yang panjang atau novel yang tebal-tebal.\u201d\nUjarnya lagi, antara sebab para penulis kita gagal menghasilkan karya yang bagus dan berkesan ialah kerana tidak pernah mengambil tahu tentang empat perkara penting dalam penulisan karya sastera. Empat elemen penting tersebut ialah kehalusan, kebijaksanaan iaitu kemahiran mengarang, keindahan, dan keberkesanan. Menurutnya, kebanyakan cerpen yang memenangi hadiah sastera di Malaysia ialah karya yang berupaya menyentuh emosi pembaca.\n\u201cSaya tidak mengajar anda untuk mengejar hadiah,\u201d beliau berterus terang, \u201cPenyair muda Kelantan kalau tulis puisi pandai, tapi jika menghasilkan cerpen hanya menulis cerita sahaja. Mengarang dengan menulis itu lain. Malah, penulis lama Kelantan juga begitu. Penulis kita ini banyak menulis cerpen, tapi sekadar tulis cerita sahajalah. Menulis ini, kita berurusan dengan pembaca.\u201d\nNasihat yang tidak kurang pentingnya kepada para karyawan generasi baharu juga ialah agar menulis tanpa mengejar kolum, iaitu jangan menulis secara terburu-buru hanya kerana hambatan untuk mendapat siaran di ruangan terhad akhbar. Hal ini menyebabkan penulisan akan terbatas dan karya menjadi tidak lengkap-sempurna, hanya kerana mengejar ruangan siaran yang sangat terhad.\nBeliau turut mengakui kemahiran S.M. Zakir yang bijak menggunakan teknik monolog dalaman dalam karya-karyanya. Umpamanya dalam cerpen yang memenangi Anugerah Sastera Negeri Kelantan (ASNK) 2015, \u201cHujan Keruh di Jogja\u201d. Pada akhir pembacaan, kita akan ikut berasa kagum menghayati cerpen Zakir ini. Rasa meluat, merungut dan tidak puas hati yang diadun oleh Zakir dalam cerpen tersebut akan turut dapat dirasai oleh pembaca. Selain terpilih memenangi ASNK 2015, cerpen itu juga turut dimuatkan dalam buku Cerpen Terbaik 2014 terbitan Buku Fixi yang diselenggarakan oleh Wan Nor Azriq.\nAntara cerpen lain yang juga bagus untuk dibaca dan dijadikan rujukan penulisan oleh para pengarang baharu ialah \u201cLagu Kit Kit Kit\u201d hasil karya Sasterawan Negara (SN) Shahnon Ahmad, \u201cCapa Rengat\u201d karya Baharuddin Kahar, \u201cMatinya Si Ibu Ayam\u201d karangan Khadijah Hashim, \u201cHaruan\u201d oleh Dharmala N.S., \u201cTok Raja\u201d karangan E Pian Pro Poul, \u201cPadmini\u201d tulisan Noorjaya, \u201cSahabat\u201d karya SN Anwar Ridhwan, dan \u201cKipas Angin\u201d hasil cipta Azizi Haji Abdullah. Selain cerpenis ini, turut disebutkan nama SN S. Othman Kelantan, SN Abdullah Hussain, Zahari Affandi, Malim Ghozali PK, Razak Mamat, dan Mawar Shafei sebagai antara pengarang yang menghasilkan cerpen yang baik dan berkesan di Malaysia.\nPenulis generasi baharu yang turut mendapat perhatian Rosli ialah Roslan Jomel. Walaupun dalam karya pengarang muda Sarawak ini banyak eksperimen dilakukan, namun beliau tetap optimis melihat perkembangan penulisan Roslan dan pengarang-pengarang muda lain.\nKatanya,\u201cDia banyak bereksperimen dalam karya-karyanya. Tak apa, biarlah mereka berkembang.\u201d Menurutnya lagi, cerpen yang berkesan ialah karya yang hidup sepanjang zaman.\nKetika ditanyakan tentang karya-karya SN Arena Wati pada akhir sesi, beliau mengakui Sasterawan Negara kelima itu sangat prolifik semasa hayatnya dan banyak menulis berdasarkan pengalaman kerana apa-apa yang ditulisnya itu ialah pengalaman baharu yang ramai tidak pernah tahu.\nBerita Berkaitan |\nMenekuni Kesusasteraan Bersama Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari" "Dua Buku DBP Berjaya Rangkul Hadiah Sastera MASTERA ke-9\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Hadiah Sastera MASTERA (Majlis Sastera Asia Tenggara) ke-9 tahun ini menampilkan enam pemenang daripada kalangan penulis dan karyawan sastera dalam ranah kesusasteraan Melayu kontemporari. Keenam-enam pemenang merupakan pengkarya berbahasa Melayu dari serantau Asia Tenggara masing-masing, iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei Darussalam.\nDalam pengumuman yang bersiaran di Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada pagi Khamis, 7 Oktober 2021 tadi, dua orang daripada barisan pemenang ialah penulis dari Malaysia.\nPemenang bagi kategori Karya Sastera Kreatif ialah penyair, Muzaf Ahmad, melalui kumpulan puisi Sepasang Sayap di Bahu, manakala pengarang dan sarjana sastera, Rahimah A. Hamid (Allahyarhamah) pula terpilih memenangi kategori Karya Sastera Bukan Kreatif melalui buku kajian sasteranya, Proses Kreatif: Sensitiviti dan Kreativiti Pengarang. Hadiah diberikan secara posthumus kepada beliau yang sudah meninggalkan kita dua tahun yang lepas.\nMuzaf Ahmad, yang pernah berkhidmat sebagai pensyarah sambilan Bahasa Melayu di Tokyo University of Foreign Studies, pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014 bagi kumpulan puisinya, Jualah Sampai Syurga. Allahyarhamah Rahimah A. Hamid pula merupakan seorang ahli akademik yang berdedikasi dari Universiti Sains Malaysia yang amat dikenali untuk kajian sasteranya yang mendalami karya sastera pascakolonial Malaysia dan Asia Tenggara.\nSementara itu, pemenang Hadiah Sastera MASTERA ke-9 lain yang turut terpilih dalam kategori Karya Sastera Kreatif ialah kumpulan puisi Surat-surat Kemerdekaan dari Brunei naskhah hasil Yahya M.S (Brunei Darussalam), penerima SEA Write Award; novel Dasamuka oleh sasterawan yang berasal dari Purworejo, Junaedi Setiyono (Indonesia); dan kumpulan cerpen Bara karya mantan Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Maarof Salleh.\nPenerima hadiah kategori Karya Sastera Bukan Kreatif yang lain pula ialah Yahya M.S (Brunei Darussalam) melalui Gagasan Ketatanegaraan dalam Syair Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien; Abdul Wachid B.S. (Indonesia) melalui Sastra Pencerahan; dan Kartini Anwar (Singapura) melalui Pemikiran dan Gaya Mengarang Raja Ali Haji. Buku kajian sastera tersebut merupakan buku terbitan DBP, selain buku Rahimah A. Hamid, Proses Kreatif: Sensitiviti dan Kreativiti Pengarang. Kesemua pemenang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10 ribu.\nHadiah Sastera MASTERA merupakan pengiktirafan hadiah sastera bertaraf antarabangsa yang meneliti kesemua karya berbahasa Melayu dari negara di bawah anggota Majlis Sastera Asia Tenggara. Hadiah ini dilaksanakan buat kali pertama pada tahun 1991.\nMenerusi pengumuman ini, Yang Berbahagia Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP dalam ucapannya berharap agar pengiktirafan ini dapat memberikan manfaat yang besar dalam usaha untuk membina rangkaian dan mengukuhkan hubungan antara sasterawan dalam kalangan negara anggota MASTERA.\n\u201cSelain mengukuhkan dan memantapkan peranan perkembangan sastera dalam negara, usaha selanjutnya adalah untuk mengantarabangsakan sastera pada peringkat yang sewajarnya,\u201d ujar beliau.\nTurut berlangsung pada hari ini ialah pengumuman pemenang Sayembara Penulisan Kreatif MASTERA, sebuah acara yang mempertandingkan karya cerpen dan puisi baharu. Sayembara ini diwarnai oleh para pengarang serantau yang menganggotai MASTERA.\n\nTonton pengumuman di sini." "Hadiah Sayembara Penulisan Kreatif MASTERA: Penulis Malaysia Naib Johan Dua Kategori\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pengumuman pemenang Sayembara Penulisan Kreatif MASTERA yang julung-julung kalinya diadakan, menyaksikan penulis Malaysia merangkul hadiah naib johan dalam kedua-dua kategori, cerpen dan puisi. Acara ini yang dianjurkan selari dengan pengumuman Hadiah Sastera MASTERA ke-9, menampilkan karyawan dari negara Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam.\nCerpenis, novelis dan pensyarah, Ummi Hani Abu Hassan mendapat Naib Johan bagi cerpen \u201cM-Suami\u201d, membawa pulang wang tunai sebanyak RM4000. Bagi kategori puisi pula, sajak \u201cAku Adalah Permata Intan Yang Kau Canai\u201d karya Marini Azahri dari Malaysia mendapat Naib Johan, membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2000.\nIndonesia menampilkan kehebatan mereka apabila tiga tempat pemenang dipenuhi oleh para karyawannya. Johan kategori cerpen dimenangi oleh Alfian Dipphatang melalui cerpen \u201cMati Muda\u201d, sementara rakan negaranya, Yulizar Fadli mendapat Tempat Ketiga melalui cerpen \u201cIkan-ikan dan Jalanan yang Berlubang\u201d. Bagi kategori puisi, penulis Indonesia, Faisal Syahreza merangkul Tempat Ketiga melalui puisi beliau, \u201cZiarah\u201d.\nJohan kategori puisi dimenangi oleh penyair dari Brunei Darussalam, Awangku Mohd Noor Sham, dengan puisinya \u201cSoldadu Aksara\u201d.\nPemenang Johan kategori cerpen membawa pulang wang tunai sebanyak RM5000, manakala Naib Johan dan Tempat Ketiga masing-masing membawa pulang RM4000 dan RM3000. Bagi kategori puisi, Johan membawa pulang wang tunai sebanyak RM3000, diikuti pemenang Naib Johan membawa pulang RM2000, manakala hadiah wang tunai RM1500 diberikan kepada pemenang Tempat Ketiga. Kesemua pemenang akan disisipkan sijil penghargaan atas penyertaan karya mereka.\nSayembara ini dilaksanakan secara bersama oleh negara anggota MASTERA (Majlis Sastera Asia Tenggara), iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura dan Thailand. Selain memartabatkan sastera, bahasa dan budaya serantau, objektif utama sayembara ini adalah untuk mengembangkan bakat dan karya kreatif dalam kalangan masyarakat negara anggota MASTERA, di samping memperbanyak penerbitan bahan sastera bermutu dalam bahasa Melayu dan Indonesia.\n\nTonton pengumuman di sini." "\u201cDunia Hari ini Lebih Kejam\u201d \u2013 Abdulrazak Gurnah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLondon \u2013 Pengalaman hidup sebagai pencari suaka memberi kesan yang sangat mendalam kepada pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan 2021, Abdulrazak Gurnah. Pengalaman tersebut bukan hanya terlihat dalam karya-karya beliau yang terhasil sejak 35 tahun lalu, malah terpancar dalam temu bualnya selepas menerima pengiktirafan itu.\nAbdulrazak yang lahir di Zanzibar pada tahun 1948 menyifatkan pengiktirafan yang diterimanya Khamis lalu akan membuka lebih banyak perbincangan mengenai karya beliau yang sebelum ini disifatkan oleh pengkritik cenderung mengangkat isu kolonialisme dan imigran.\n\u201cAkademi (Sweden) jarang memperkatakan isu-isu sebegitu, jadi hal ini akan membuka lebih banyak perbincangan,\u201d katanya, dalam laporan yang diterbitkan oleh AFP.\nAbdulrazak yang tiba di Britain pada usia 21 tahun mula menulis ketika tiba di Britain sebagai respons terhadap rasa keterasingan yang dialaminya ketika itu. Setakat ini, beliau sudah menghasilkan lebih 10 buah novel dengan kebanyakannya mengambil latar Afrika Timur.\nAntara novel beliau, termasuklah Paradise (1994) yang disenarai pendek untuk Booker Prize dan Whitbread Prize. Novelnya, Desertion (1994) dan By the Sea (2001) berada dalam senarai panjang Booker Prize, selain senarai pendek Los Angeles Times Book Prize.\nTegas Abdulrazak, ketika beliau tiba di England, tidak banyak orang lari ke negara selamat atas nama \u201cpencari suaka\u201d. Namun hari ini katanya, lebih ramai warga dunia melarikan diri dari negara asal mereka atas faktor negara yang kucar-kacir.\nKatanya, berbanding dengan tahun 1960-an, dunia hari ini lebih kejam, justeru negara yang diistilahkan sebagai selamat lebih tertekan, tetapi hal sebeginilah yang perlu dihadapi oleh semua setiap hari.\nMalah, Abdulrazak dalam temu bualnya dengan Yayasan Nobel, turut mendesak Eropah untuk melihat pelarian dari Afrika sebagai manusia yang \u201cmempunyai sesuatu yang ingin diberikan\u201d.\n\u201cKebanyakan mereka ini jujur dengan apa-apa yang boleh mereka berikan. Mereka tidak datang dengan tangan kosong. Mereka ialah orang yang berbakat, bertenaga, dan mampu memberikan sumbangan,\u201d katanya." "Nilai Kesejagatan dalam Sastera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nS.M. Zakir melihat semula makna sebenar kesejagatan dan kepentingannya dalam pengkaryaan sastera yang baik.\nKekeliruan tentang nilai kesejagatan dalam karya sastera telah mencapai tahap yang parah apabila tidak dapat lagi membezakan antara perkara yang inti dengan perkara yang kosmetik. Lebih parah lagi, kekeliruan ini menjadi pegangan ahl-ahli sastera sehingga penilaian karya sastera tidak dapat lagi menemukan perkara utama dan teras dalam membangunkan pemikiran.\nKita sering terkeliru tentang nilai kesejagatan dalam sastera. Tanggapan mudah selalu melihat apa yang bercerita atau mengambil subjek tentang dunia antarabangsa atau luar negara ialah nilai sejagat. Contohnya dalam penilaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia, pernah ada laporan tentang karya yang dipilih sebagai pemenang dikatakan mempunyai nilai sejagat kerana mengambil latar luar negara sebagai latar karya. Penilaian ini naif dan daif sekali. Inilah satu contoh kekeliruan nilai sejagat dalam karya sastera. Latar, watak atau peristiwa luar negara yang dimasukkan ke dalam karya bukanlah inti pati pada nilai kesejagatan yang sebenar, sebaliknya ia hanya kosmetik atau unsur plastik tentang nilai sejagat dalam karya.\nKesejagatan atau universaliti dihuraikan maknanya oleh Harun Mat Piah, memetik Ensiklopedia Malaysiana, jilid 13, halaman 279: Istilah kritikan sastera yang dipakai untuk menunjukkan kewujudan dalam karya sastera suatu tarikan yang diterima oleh pembaca untuk semua zaman. Apabila sesebuah karya dapat mendedahkan emosi utama yang ada kepada semua manusia, bagi semua peradaban, seperti cemburu, cinta, bangga, azam, dan sebagainya, iaitu melalui watak dan aksi yang dapat kekal diterima untuk semua zaman, maka karya sastera itu dikatakan mempunyai \u201cuniversaliti\u201d.\nHarun Mat Piah melihat nilai kesejagatan atau universaliti ini dalam sastera tradisional Melayu, seperti pantun, gurindam dan syair. Malah, jika dilanjutkan lagi, ia turut dapat diteliti dalam karya prosa tradisional, seperti hikayat dan roman sejarah. Hal yang jelas, nilai kesejagatan ini, mempunyai nilai yang berinti dan tulen (essence, pure). Ia bukan bersifat kosmetik dan plastik. Nilai kesejagatan terkait dengan kehadiran emosi utama yang ada pada semua manusia dalam olah penceritaan; sehingga mewujudkan suatu bentuk rasa yang seni pada setiap manusia yang membacanya, di seluruh alam maya.\nRanjau Sepanjang Jalan, Salina, Angin Timur Laut merupakan sebahagian karya besar yang dapat dirujuk tentang nilai kesejagatan dalam sastera. Kehadiran emosi utama yang mencetuskan \u201ckatarsis\u201d hebat kepada pembaca menyucuk nyeri perasaan segala manusia inilah yang disebut nilai kesejagatan atau universaliti. Hal yang sama dibawa oleh Nikolai Gogol dalam Taras Bulba, Leo Tostoy dalam War and Peace, Hemingway dalam The Old Man and the Sea, dan Yukio Mishima dalam The Sound of Waves. Malah, nilai kesejagatan ini juga boleh muncul dalam karya yang melanggar aturan realisme, seperti Naratif Ogonshoto oleh Anwar Ridhwan, The Metamorphosis oleh Franz Kafka, dan The Outsider oleh Albert Camus. Malah, yang terbaharu ialah novel autobiografi oleh Karl Ove Knausgard, yang mengambil masuk emosi dan realiti tanpa segan silu ke dalam sasteranya.\nKekeliruan tentang nilai kesejagatan dalam karya sastera telah mencapai tahap yang parah apabila tidak dapat lagi membezakan antara perkara yang inti dengan perkara yang kosmetik. Lebih parah lagi, kekeliruan ini menjadi pegangan ahl-ahli sastera sehingga penilaian karya sastera tidak dapat lagi menemukan perkara utama dan teras dalam membangunkan pemikiran. Mutakhir ini, apa yang berlaku ialah apa-apa yang kosmetik dilihat sebagai pemikiran dalam karya, dan apa-apa yang teras tidak dilihat sebagai pemikiran. Apabila emosi yang menyangkuti gerak rasa yang seni tidak dinilai dan dinikmati dengan wajar, maka bentuk yang bercelaru dalam memenuhi eksperimen individualistik dianggap sebagai kejutan dan pemikiran yang besar dalam sastera. Sekali lagi, kita keliru antara isi dengan bentuk.\nAlam sejagat, alam semesta atau universe dirujuk sebagai suatu bentuk sistem astronomikal dan kosmologikal. Dalam Alam Melayu menurut Harun Mat Piah, manusia mengaitkan dirinya sebagai penghuni alam dalam konteks kesatuannya dengan kejadian serta hukum alam. Dalam hal ini, mereka menganggap alam dan segala kejadian alam mempunyai tenaga atau kuasanya yang tersendiri. Kuasa dan tenaga ini menjadi faktor kepada pelbagai gejala alam yang mempengaruhi kehidupan manusia. Matahari, bulan dan bintang misalnya, mempengaruhi pergerakan laut, menyebabkan pasang surut serta mendatangkan bencana, seperti banjir di darat dan ribut di laut. Hal ini digambarkan dengan dramatik dan tragis dalam novel Angin Timur Laut oleh S. Othman Kelantan.\nSelain tenaga alam, makhluk yang melata dan melayang di alam ini seperti manusia dan haiwan juga mempunyai tenaga yang tersendiri. Tenaga ini boleh membawa kebaikan, malah boleh membawa bencana. Haiwan yang mencari makanan tetapi boleh merosakkan tanaman, seperti ulat, tikus, burung, babi, dan sebagainya boleh menyebabkan kegagalan usaha pertanian. Dalam pada itu, ekosistem yang wujud secara alamiah ini tidak dapat diubah dengan mudah, melainkan diatasi dengan tenaga yang bertentangan dengannya ,seperti tenaga dan daya manusia untuk melawannya dengan pelbagai kaedah. Hal ini juga dapat ditemui dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad, yang mengolahnya dengan dramatik dan tragis juga.\nUsaha mengangkat karya-karya klasik mungkin dilihat klise dalam memberikan misalan tentang nilai kesejagatan dalam karya sastera. Namun, nilai sejagat tidak pernah klise selagi manusia dihuni oleh segala perasaan cinta, kasih, marah, benci, cemburu, ria, dan sebagainya. Apa yang menjadikan sesebuah karya itu kukuh dan berbeza dalam membawa nilai kesejagatan ialah kejujuran penulis yang menuliskan emosi dan fikiran dalam konteks pengalaman mereka yang tulen. Pengalaman ialah deduktif yang paling perkasa dalam menjelaskan serta mempertalikan emosi dengan realiti. Novel kosmopolitan awal seperti Perangkap Hitam oleh Ahmad Rashid Talu juga boleh dilihat antara karya sastera yang membawa nilai kesejagatan yang tekal.\nMeletakkan nilai kesejagatan dalam karya sastera berteraskan emosi utama yang dapat menjadi konduktor atau pengalir kepada kebersamaan rasa segala manusia bukan bererti menolak bentuk-bentuk baharu karya sastera, yang bereksperimen dengan bentuk mahupun ideologi. Akan tetapi, sejauh mana pun bentuk dilarikan melangkau segala sempadan yang ada, ia tetap memerlukan pernyataan yang jelas tentang kehidupan manusia di dunia nyata. Bentuk bukan tiket kepada nilai kesejagatan dalam karya, sebaliknya rasa fikiran yang jelas merupakan kunci kepada nilai kesejagatan.\n_________________________\nS.M. Zakir atau nama penuhnya Syed Mohd Zakir bin Syed Othman dilahirkan pada 4 Februari 1969 di Kota Bharu, Kelantan. Beliau memulakan kerjaya dalam industri media sebelum menjadi penulis sepenuh masa pada tahun 2000. Sepanjang berkarya, S.M. Zakir telah menerima banyak hadiah dan anugerah sastera, seperti Hadiah Sastera Malaysia 1994/1995 bagi kumpulan cerpen Merengkuh Langit (DBP, 1995) dan Anugerah Sastera Negeri Kelantan bagi kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibrail (Pustaka Nusa, 2001), selain Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil, Hadiah Sastera DBP-Maybank, Hadiah Sastera 100 tahun Kuala Lumpur DBP-DBPKL, Hadiah Formula Malaysia, dan Anugerah GAFIM (kritikan filem). Beliau juga telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Muda Mastera 2010 dan penerima SEA Write Awards (Malaysia) 2011." "Apakah yang Mendorong Manusia untuk Menulis?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGeorge Orwell pernah menyatakan bahawa, hal pertama yang merangsangkan seseorang untuk menulis ialah keegoan. Penulis mahu tulisannya diperkata dan diingati. Keduanya, berkongsi rasa indah melalui tulisan yang puitis. Keinginan untuk berkongsi pengalaman puitis merupakan satu perasaan yang kuat dan mampu membentuk persona si penulis.\nKetiganya, faktor sejarah. Penulis mungkin akan menulis untuk mencatat serta merakamkan sejarah atau untuk melibatkan dirinya sendiri dalam lipatan sejarah. Keempat, adalah dengan bermoduskan politik. Menurut Saleeh Rahamad, sebab yang keempat inilah antara faktor yang besar dalam sejarah penulisan.\nSaleeh Rahamad menyifatkan dirinya sebagai penulis yang menulis kerana ego. Perasaan yang menginginkan karyanya untuk diperkata dan diangkat menjadi satu faktor pendorong untuk beliau menulis dan utuh berkarya. Namun begitu, sebagai penulis yang juga manusia, keinginan untuk berkongsi keindahan puitis juga kuat menjalar. Di samping itu, beliau juga menulis dengan motif berwarna politik. Menurut Saleeh Rahamad lagi, sebenarnya, kedudukan beliau sebagai penulis ialah gaulan mesra kesemua faktor manusia menulis menurut teori George Orwell itu.\nSiri Wacana PENA kembali lagi minggu ini, dengan Saleeh Rahamad kekal sebagai panel tetap dan Mohd Khair Ngadiron kembali menemui penonton dan pelayar internet sebagai pengemudi wacana. Dua pengarang yang baru diumumkan sebagai penerima SEA Write Award, Aminah Mokhtar (SEA Write Award 2020) dan Shamsudin Othman (SEA Write Award 2019), diundang sebagai bicarawan pada wacana berkenaan buat siri ke-12, pada 8 Oktober 2021 (Jumaat), jam 9.00 malam, dengan judul bicara \u201cMengapa Menulis: Demi Perjuangan atau Kepuasan Diri?\u201d.\nAminah Mokhtar yang berkhidmat sebagai jururawat, tidak pernah menduduki kuliah atau kelas pengajian sastera secara formal. Kesanggupan untuk menjadi warga wad di hospital walaupun beliau sendiri secara peribadinya tidak selesa dengan darah dan jenazah membentuk satu sosok peribadi. Pada peringkat awal, dalam beliau cuba-cuba untuk menulis, karyanya menjadi perhatian orang sekelilingnya. Kata mereka, karya Aminah yang pemula (ketika itu) lebih hebat daripada sesetengah orang sastera.\nAminah yang memasukkan dunia hospital ke dalam karyanya juga menjadi perbualan dalam ranah penulisan. Sejarah kehidupan yang ditelusurinya, terutamanya dalam kehidupan jururawat menjadi faktor besar dalam membentuk peribadi penulisan dan sastera beliau hari ini. Kata beliau lagi, secara tidak langsung, beliau merawat pesakitnya melalui karya.\nAminah yang kadang-kadang diberi gelaran \u201cpenulis sayembara\u201d kerana kerap kali memenangi sayembara sastera menjelaskan, pada permulaannya, beliau kerap kali meyakinkan diri bahawa untuk mempelajari ilmu sastera, dampingilah mereka yang pakar dalam bidangnya.\n\u201cSaya bukanlah orang yang datang dari latar sastera, namun saya yakin dengan kredibiliti juri-juri sayembara, saya masuk sayembara untuk mempelajari tentang pendirian saya dalam ranah sastera ini.\n\u201cJika kita mendapat, walau sedikit pun pengiktirafan dalam satu acara sayembara, secara tidak langsung hal ini akan melahirkan satu momentum kuat untuk kita lebih berkarya. Sayembara ialah titik tolak untuk seseorang penulis itu pergi lebih jauh,\u201d jelas Aminah Mokhtar.\nTidaklah dinafikan, persekitaran kitalah yang membentuk dan mencipta diri kita hari ini dan masa mendatang. Persekitaran Aminah Mokhtar yang dibaluti oleh rutin seorang jururawat, menjadikan beliau penulis yang hebat, bukan latar sasteranya. Begitu juga dengan Shamsudin Othman, seperti orang lain, sosok yang dikenali ramai sebagai penyair yang berkarya dengan unsur bibit-bibit Islami itu juga dibentuk melalui persekitaran berkenaan.\nShamsudin Othman bahkan merasakan, menulis ini hidup melalui asbab genetik. Latar belakang keluarga beliau yang ada sosok keagamaanlah yang memberikan beliau peluang untuk menemui gaya dan kaedah penulisannya.\n\u201cKeagamaan itu walau bagaimanapun menjadi sebati setelah ia hilang seketika, sebelum saya sendiri yang memasuki cahaya agama itu.\n\u201cKetika saya telah sampai umur matang, saya semakin cenderung ke arah pemikiran keagamaan yang tinggi, dan itulah jati diri yang mengakar dalam diri saya,\u201d jelas Shamsudin.\nMenerusi wacana ini, Shamsudin Othman menegaskan, perihal menulis atas nama juang, konsep perjuangan itu sendiri memang ada dalam setiap diri manusia, cuma berbeza-beza takahnya. Jika seseorang itu ragu-ragu untuk mula menulis (dan hantar untuk diterbitkan), kunci untuk melawannya ialah berani. Mereka harus berani untuk melakukan sesuatu yang baharu, dan tentunya, sesuatu yang baharu itu memerlukan kelainan.\nBeliau menyatakan bahawa, kecintaan beliau terhadap sastera dipupuk melalui pengalaman beliau yang berlatarbelakangkan pendidikan dan bahasa, serta ruang yang beliau tempuhi dalam pengalamannya menjadi guru. Sisi kerjaya beliau tidak dapat dinafikan, membantu mengembangkan minat dan kegiatan menulis itu sendiri.\n\u201cKunci untuk kita mula menuls ialah berani,\u201d tambah beliau.\nTonton wacana penuh di sini." "\u201cPuisi Impak Tinggi Mampu Bawa Kesan Perubahan\u201d \u2013 Shamsudin Othman\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNusa Centre mengadakan sebuah Program Sambutan Penerima SEA Write Award 2019 bagi meraikan penyair mapan Dr. Shamsudin Othman. Program ini disiarkan secara langsung di Facebook Nusa Centre pada Sabtu, 9 Oktober 2021, pukul 9.00 malam dan dikendalikan oleh Mohd Nazmi Yaakub, dengan penampilan khas pemuzik Yuzailan Yusuf.\nShamsudin Othman, seorang penyair dan juga seorang ahli akademik memulakan bual bicara dengan mengucapkan terima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menjadi sekretariat SEA Write Award menguruskan pencalonan penulis-penulis Malaysia dan kepada Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang menyediakan pelapis untuk dicalonkan sebagai penerima anugerah penting tanah air, Asia Tenggara dan dunia. Beliau turut mengucapkan terima kasih dan syukur atas sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan.\nDalam perkongsian perasaannya memenangi anugerah ini, Shamsudin mengatakan kemenangan ini dirasakan sebagai satu titik mula untuk menghasilkan karya yang lebih baik. Tambahnya lagi, bagi mana-mana penulis, mendapat pengiktirafan sudah tentunya menjadi impian, namun Shamsudin membangkitkan persoalan bagaimana dan ke mana seseorang penulis meletakkan diri pada kedudukan yang diperakukan. Beliau menjelaskan, ramai penulis yang lebih layak namun mungkin kerana mereka bersendirian tanpa bernaung pada mana-mana persatuan penulis, menyukarkan mereka dicalonkan ke peringkat yang lebih tinggi.\nDikenali sebagai penyair yang memilih aliran keagamaan dalam pengkaryaannya, Shamsudin berkongsi cara beliau menyeimbangkan diri sebagai penulis dan ahli akademik.\n\u201cKetika memakai baju penyair, saya tidak terikat dengan hukum dan teori kerana perkara-perkara ini akan membunuh kreativiti pengarang. Cuma, ketika berada pada tahap kesarjanaan, apakah tahap puisi yang akan dihasilkan,\u201d katanya.\nSambungnya lagi, gelaran akademik sedikit membataskan pengkaryaannya kerana beliau ada tanggungjawab yang lebih besar dalam menghasilkan puisi kerana perlu teliti terutamanya dari aspek bahasa dan sudut pandang.\nTidak mengehadkan minat kepada satu-satu penyair sahaja walaupun mengakui meminati Rumi, Shamsudin membaca banyak karya tempatan dan luar negara. Katanya, puisi berimpak tinggi ialah apabila sesebuah teks itu mampu membawa kesan perubahan, diikat dengan kekuatan bahasa dan karya yang mempunyai kualiti sayembara. Sudah tentunya, karya berimpak tinggi boleh merungkaikan satu-satu permasalahan dengan gagasan atau pemikiran yang tinggi. Sebagai panel puisi Islam, Shamsudin turut berkongsi kunci penting untuk memenangi sayembara, yakni dengan mematuhi tema sayembara yang telah ditetapkan oleh penganjur kerana inilah penentu besar kemenangan.\nPemuzik Yuzailan Yusuf bermain piano bagi mengiringi program dengan memainkan lagu-lagu ketuhanan Doa oleh Zubir Ali daripada puisi Chairil Anwar, Kembara di Tanah Gersang oleh Dato\u2019 M. Nasir, Kepadamu Kekasih, iaitu lirik puisi oleh Eunos Asah, dan Kekasih Awal dan Akhir tulisan S. Amin Shahab. Yuzailan menutup program dengan lagu gubahannya sendiri, menyanyikan lagu puisi Kekasih Abadi karya Raja Rajeswari Seetha Raman.\nTonton bual bicara ini di sini." "Kosmopolitanisme yang Hilang dalam Kebudayaan Sastera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTulisan ini berdasarkan perkongsian A. Muziru Idham dalam Forum Menganyam Nusa: Sastera, Kemerdekaan dan Identiti Kebangsaan anjuran Kawah Buku dan Institut Nyala pada 30 Ogos 2021.\nSesudah kemerdekaan 1957, dan beberapa dekad pengarang-pengarang sastera pascamerdeka menulis tentang persoalan nasionalisme dan perpaduan dalam karya-karya mereka, lontaran suara mereka hampir tidak didengari oleh para politikus yang terus terbangun mewajahkan nasionalisme Malaysia mengikut acuan kolonial, sehingga mengabaikan aspek kebudayaan sejarah tempatan yang wujud dalam bentuknya yang unik.\nSaya fikir, persoalan identiti kebangsaan dalam kesusasteraan merupakan suatu polemik yang tidak akan pernah kunjung selesai. Saya berani katakan bahawa pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa ialah suatu kewujudan yang tidak betul-betul siap. Kosmopolitanisme budaya, terutamanya daripada kaum Cina dan India yang telah pun wujud di Semenanjung pada kurun ke-13 sewaktu era kegemilangan tamadun Melaka (1400\u20131511) seperti tidak pernah diambil peduli. Sejarah kita yang telah dihasut oleh kolonialisme, seolah-olah dilihat hanya wujud sesudah kedatangan kolonial Inggeris pada kurun ke-17.\nPada kurun tersebut, Inggeris membawa masuk masyarakat kaum Cina dan India secara besar-besaran di Tanah Melayu demi menyahut Revolusi Industri, meminggirkan sejarah kebudayaan masyarakat asal, seperti Orang Asli dan etnik-etnik asal di Borneo sehingga cerita mereka hilang dari kaca mata sejarah. Kesan dasar pecah dan perintah yang dibawa oleh Inggeris sangat mempengaruhi pembentukan masyarakat Malaysia, yang dari awalnya kedudukan sosial mereka telah dipecah-pecahkan mengikut kawasan berasingan, yang menghalang kepada berlakunya integrasi perkauman, tidak seperti yang berlaku di Melaka, pada abad ke-13 itu.\nMaka, kita akan lihat bahawa kesan naratif sejarah yang sebegitu telah mengakibatkan wujudnya minda prasangka yang menebal dalam masyarakat kita hari ini, sehinggakan puluhan tahun pascamerdeka pun masih tidak mengikis stereotaip dan prejudis masyarakat terhadap kaum-kaum lain di Malaysia. Sesudah kemerdekaan 1957, dan beberapa dekad pengarang-pengarang sastera pascamerdeka menulis tentang persoalan nasionalisme dan perpaduan dalam karya-karya mereka, lontaran suara mereka hampir tidak didengari oleh para politikus yang terus terbangun mewajahkan nasionalisme Malaysia mengikut acuan kolonial, sehingga mengabaikan aspek kebudayaan sejarah tempatan yang wujud dalam bentuknya yang unik.\nPeranan Wartawan Sasterawan ke Arah Nasionalisme Kemerdekaan\nMereka wartawan-wartawan yang sudah tercerah dari awal melalui pendidikan Inggeris ataupun madrasah agama aliran Kaum Muda, yang sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran mereka untuk membebaskan tanah air daripada penjajahan Inggeris.\nNasionalisme bangsa mula terbangun sejak awal kurun ke-18, iaitu apabila wujudnya gerakan Kaum Muda yang membawa agenda nasionalisme dan cita-cita Islam yang dipelopori oleh tokoh-tokoh seperti Syeikh Tahir Jalaluddin, Abu Bakar al-Ash\u2019ari dan Syed Sheikh al-Hadi. Titik tolak terpenting adalah apabila Syed Sheikh al-Hadi (1867\u20131934) yang menggerakkan ideologi nasionalisme dan islah melalui persuratan, iaitu melalui penerbitan jurnal Al-Ikhwan (1926) dan akhbar Saudara (1934). Peranan kesusasteraan melalui wadah persuratan dalam kebangkitan nasionalisme itu lebih menonjol apabila Syed Sheikh al-Hadi yang menjadi ulama Kaum Muda pada ketika itu turut menerbitkan novel yang bertajuk Hikayat Faridah Hanom (1925) dengan membawa tema percintaan dan emansipasi wanita.\nDaripada gerakan Kaum Muda tersebut, maka muncullah lebih banyak akhbar dan majalah yang benar-benar tertumpu pada nasionalisme Melayu, seperti Utusan Zaman (1938), Utusan Melayu (1939) dan Mastika (1941) yang menjadi antara ruang untuk pengarang-pengarang berkarya dan melontarkan kritikan sosial. Jadi, di sinilah titik mulanya kepengarangan sasterawan menulis karya-karya sastera demi menaikkan gelombang nasionalisme masyarakat pada ketika itu, bagi menyedarkan mereka bahawa mereka sedang dijajah oleh Inggeris, justeru perlu mendapatkan semula hak tanah air mereka.\nMenariknya, kebanyakan sasterawan pada ketika itu sendiri ialah wartawan di majalah dan akhbar tersebut. Gelombang nasionalisme itu digerakkan oleh para wartawan yang menulis kritikan sosial melalui cerpen, puisi ataupun esei, kerana mereka berhadapan dengan realiti masyarakat dari kaca mata mereka sendiri. Maka, kita akan lihatlah tokoh-tokoh besar wartawan sasterawan yang mempelopori ke arah nasionalisme kemerdekaan pada ketika itu, seperti Abdul Rahim Kajai, A. Samad Ismail, Keris Mas, Pak Sako, dan lain-lain. Mereka wartawan-wartawan yang sudah tercerah dari awal melalui pendidikan Inggeris ataupun madrasah agama aliran Kaum Muda, yang sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran mereka untuk membebaskan tanah air daripada penjajahan Inggeris.\nPada ketika itu, kebanyakan daripada mereka tidak sekadar menggunakan beberapa buah nama samaran apabila menulis karya yang bersifat kritikan sosial, demi mengelakkan identiti sebenar mereka diketahui oleh pihak kolonial, tetapi juga hendak merancakkan fenomena kepengarangan pada ketika itu supaya suara aspirasi nasionalisme tampak lebih ramai dan besar. Pendekatan sebegitu mencipta gelombangnya apabila masyarakat mulai sedar bahawa mereka selama ini yang terimbau dengan penyediaan peluang pekerjaan dan pembayaran upah kecil daripada kolonial telah dieksploitasi tanpa sedar, sedangkan hasil mahsul yang mereka kerjakan itu dibawa ke Eropah demi kepentingan kolonial.\nGelombang itu semakin rancak apabila ASAS 50 (Angkatan Sasterawan 1950) ditubuhkan pada 6 Ogos 1950 dengan membawa cita-cita perjuangan bahasa dan kesusasteraan sebagai alat perpaduan kebangsaan dan kemerdekaan. ASAS 50 telah menghimpunkan para sasterawan dan wartawan yang menulis di pelbagai tempat itu di bawah satu bumbung. Antara ahli-ahli ASAS 50 pada ketika itu termasuk Keris Mas, Rosmera, Hamzah Hussin, Masuri S.N., A. Samad Ismail, dan Usman Awang (sekadar menyebut beberapa nama). Mereka berada di bawah satu bumbung, membawa aspirasi Seni untuk Masyarakat. Mereka menulis karya-karya yang membawa persoalan darurat, nasib kaum buruh dan ketidakadilan sosial. Dalam masa yang sama, Che Abdullah Che Ya dalam makalahnya bertajuk \u201cProtes dalam Masyarakat di Alam Melayu Sebelum Merdeka\u201d (2009), turut mengutarakan persoalan lain yang dibangkitkan oleh karya-karya sastera pada ketika itu, yakni emansipasi wanita, nasionalisme, percintaan, dan kahwin paksa.\nContohnya, dalam novel Putera Gunung Tahan (1937), Pak Sako menulis persoalan nasionalisme dalam bentuk satira, dengn menyindir pihak kolonial yang menduduki negara ini dengan menggunakan lambang Gunung Tahan, orang sakai dan kulit harimau putih. Novel Melati Kota Bharu (1941) pula yang ditulis oleh Abdul Kadir Abadi membangkitkan nasionalisme dalam bentuk percintaan, apabila pengarang menyinggung tentang sistem feudal golongan istana yang mengagung-agungkan gelaran dan status. Sementara itu, dalam isu emansipasi wanita, novel Iakah Salmah? (1927) oleh Ahmad Rashid Talu mennceritakan seorang gadis Timur yang hendak melepaskan diri daripada kongkongan adat, manakala novel Hikayat Faridah Hanom (1925) oleh Syed Sheikh al-Hadi pula menampilkan protes terhadap cinta antara dua darjat dan emansipasi wanita dalam pendidikan agar tidak berada di bawah kongkongan lelaki.\nKita dapat lihat di sini bahawa persoalan-persoalan nasionalisme tidak sekadar tertumpu pada persoalan kelas sosial dan satira terhadap kolonial, tetapi lebih besar lagi turut tertumpu pada persoalan emansipasi wanita dan percintaan yang menjadi persoalan sensitif sebetulnya untuk dibicarakan dalam suasana masyarakat pada ketika itu. Emansipasi wanita antara yang menjadi isu kebangkitan nasionalisme kerana perjuangan kemerdekaan bukanlah sekadar perlu menghimpunkan golongan lelaki semata-mata, tetapi golongan wanita juga perlu dicerahkan dan diperkuatkan supaya gerakan kemerdekaan itu menjadi lebih kuat melalui penggemblengan tenaga dan pencerahan sosial yang lebih meluas meliputi seluruh masyarakat, tanpa mengira gender dan perkauman.\nPersoalan-persoalan sebegini dapat diutarakan dengan jelas kerana kelompok terbesar dalam kalangan sasterawan pada ketika itu terdiri daripada para wartawan. Mereka tidak sekadar berada dalam ranah kemasyarakatan dan pergi ke sana sini sekadar hendak mencari bahan-bahan untuk dilaporkan menjadi berita, tetapi kesedaran sosial mereka pada ketika itu menjentik nurani untuk membangkitkan semangat kebangsaan melalui karya kesusasteraan yang mereka sedar lebih dekat dengan masyarakat. Sebabnya, dalam masyarakat pada ketika itu yang masih tebal dengan kebudayaan sastera lisan, dalam masa yang sama, majalah dan akhbar seperti Mastika, Utusan Zaman dan Utusan Melayu yang pada ketika itu menjadi bacaan masyarakat, menjadi wadah yang memudahkan para wartawan sasterawan ini hendak menjentik kesedaran mereka melalui karya kesusasteraan, kerana puisi dan kisah-kisah yang bercerita lebih dekat dengan diri masyarakat.\nDi Manakah Golongan Sasterawan Bukan Melayu dalam Suara Kemerdekaan?\nSelain kebudayaan setiap kaum yang berbeza, saya juga percaya bahawa geografi turut memainkan peranan dalam mencorakkan kebudayaan dan cara fikir perkauman.\nPersoalan ini ialah suatu persoalan yang agak sukar untuk dijawab. Agak pelik sebenarnya, setelah kemerdekaan selama 64 tahun, kajian terhadap persoalan ini masih lagi kurang dalam kalangan sarjana sastera. Andaian yang boleh dikemukakan ialah, kesan dasar pecah dan perintah tersebut menyebabkan wujudnya jurang bahasa dan kebudayaan dalam kalangan kaum. Seperti yang kita sedia maklum, dalam dasar pecah dan perintah oleh Inggeris, majoriti kaum Cina diletakkan di bandar, majoriti kaum Melayu diletakkan di kampung, dan majoriti kaum India diletakkan di estet. Perpecahan kaum tersebut menyebabkan kurangnya interaksi antara kaum. Selain kebudayaan setiap kaum yang berbeza, saya juga percaya bahawa geografi turut memainkan peranan dalam mencorakkan kebudayaan dan cara fikir perkauman.\nAkan tetapi, bahayanya kesan daripada dasar kolonial tersebut turut membina suatu stereotaip yang berbahaya dan bersifat prejudis: Kedudukan masyarakat Cina di bandar mencorakkan mereka dengan wajah kapitalisme; kedudukan masyarakat Melayu di kampung dilihat sebagai kaum yang mundur dan malas; dan kedudukan masyarakat India di estet membina stereotaip kaum tersebut sebagai peminum. Semua itu ialah prejudis yang sangat teruk dan berbahaya yang sampai sekarang pun masih wujud sekiranya kita perhatikan komen-komen rasis di media sosial. Sebab itulah, negara bangsa Malaysia tidak akan pernah siap dan sempurna selagi jurang stereotaip dan prejudis perkauman ini tidak selesai.\nBerbalik kepada perihal kurangnya kajian tentang peranan sasterawan bukan Melayu dalam kemerdekaan negara, saya melihat bahawa perkara ini berlaku disebabkan oleh dasar pecah dan perintah tersebut yang menyebabkan masyarakat terkelompok menurut kaum masing-masing. Disebabkan hal tersebut, maka penerbitan akhbar dan majalah pula wujud dalam bahasanya yang tersendiri. Seperti yang dimaklumkan tadi, untuk bangsa Melayu, maka ada akhbar dan majalah seperti Mastika, Utusan Zaman dan Utusan Melayu yang dicetak dalam bahasa Melayu dan bertulisan Jawi, yang menjadi wadah berita dan bacaan kelompok bangsa Melayu. Kebangkitan nasionalisme Melayu digerakkan melalui suara kepengarangan dalam medium tersebut.\nUntuk akhbar kaum India, antara yang berpengaruh pada ketika itu ialah Tamil Nadu dan Tamil Nesan. Menurut Ganesan a/l Shanmugavelu dalam \u201cAkhbar-akhbar Tamil dan Pemikiran Tentang Kaum India di Tanah Melayu, 1946-1950\u201d (2015), akhbar-akhbar Tamil pada ketika itu bertindak sebagai alat yang menyuarakan masalah kaum India di Tanah Melayu. Menurutnya, akhbar Tamil Nesan diterbitkan dengan tujuan untuk mengekalkan bahasa Tamil, adat dan budaya kaum India serta menyuarakan rungutan kaum India di Tanah Melayu, terutamanya golongan buruh Tamil di ladang-ladang getah. Menariknya, akhbar berbahasa Inggeris seperti The Indian dan Indian Pioneer juga diterbitkan untuk memenuhi keperluan masyarakat India kelas menengah yang berbahasa Inggeris. Persoalan utama yang dibangkitkan ialah tentang hak-hak buruh kaum India dan isu eksploitasi kaum buruh India di estet-estet. Persoalannya, di celah-celah persoalan besar tersebut, apakah tidak ada karya-karya sastera kaum India yang disiarkan di akhbar-akhbar tersebut terkait dengan isu hak kaum buruh India dan persoalan kemerdekaan daripada kolonial Inggeris?\nUntuk akhbar kaum Cina pula, sejarahnya lebih kompleks jika kita baca makalah \u201cPeranan Akhbar Cina dalam Artikulasi Isu-isu Sejarah dan Pembentukan Negara Bangsa\u201d (2015) yang ditulis oleh Lee Kuok Tiong. Menurutnya, permit penerbitan akhbar berbahasa Mandarin seperti Jinan dan Kwong Wah telah ditarik balik pada tahun 1927 oleh kerajaan British kerana sentimen kempen anti-Jepun mereka yang radikal. Peranan akhbar berbahasa Cina pada era pendudukan Jepun adalah lebih tidak jelas berikutan sentimen Perang Cina-Jepun 1937\u20131945, menyebabkan kebencian antara masyarakat Cina dengan Jepun bersemarak, lalu kebanyakan orang Cina di Tanah Melayu melarikan diri ke dalam hutan bagi mengelakkan daripada dizalimi oleh golongan kempetai Jepun.\nJadi, selepas kekalahan Jepun dan kedatangan semula pihak British ke Tanah Melayu, tidak banyak akhbar Cina yang wujud melainkan akhbar Kwong Wah Daily di Pulau Pinang yang beroperasi semula selepas Jepun menyerah kalah pada tahun 1946. Menurut Lee Kuok Tiong lagi, banyak keratan akhbar lama berbahasa Mandarin di arkib yang menulis tentang kerjasama MCA (Malaysian Chinese Association) dengan UMNO (United Malays National Organisation) dan MIC (Malaysian Indian Congress) dalam mengorak langkah mengadakan rundingan kemerdekaan Tanah Melayu di London. Hal ini menunjukkan bahawa selepas tahun 1946, penerbitan akhbar Cina yang sedia ada itu sudah mula membicarakan persoalan kemerdekaan. Soalnya, apakah tidak ada suara sasterawan kaum Cina yang membicarakan perihal sedemikian di akhbar-akhbar Cina pada ketika itu? Jika ada, siapakah dia dan apakah karya-karya yang membicarakannya?\nPersoalan-persoalan yang saya timbulkan ini ialah persoalan besar yang berkait dengan sastera dan identiti kebangsaan dalam sejarah Malaysia. Saya percaya bahawa pastinya wujud karya-karya kesusasteraan kaum-kaum lain yang turut menggerakkan agenda nasionalisme di Tanah Melayu pada ketika itu. Tinggal sahaja, barangkali, disebabkan oleh kekangan bahasa, maka karya-karya dalam akhbar yang berbahasa Tamil dan Cina itu menjadi kekangan kepada pengkaji untuk meneliti karya-karya sastera yang disiarkan dalam akhbar-akhbar tersebut. Banyak kajian telah dikemukakan tentang peranan akhbar kaum-kaum bukan Melayu ini terhadap aspirasi kemerdekaan nasional, tetapi masih kurang lagi kajian yang ditumpukan kepada peranan sasterawan kaum bukan Melayu secara khusus terhadap kemerdekaan nasional.\nSebab itu, kalau dalam kalangan sasterawan Melayu, kitab boleh menyebutkan nama-nama seperti Usman Awang, Pak Sako, Abdul Rahim Kajai, Keris Mas dan sebagainya. Tetapi sedikit sekali nama-nama sasterawan bukan Melayu yang dapat disebutkan pada era pramerdeka tersebut. Wajar segera peranan ini diberikan tumpuan kerana saya percaya, sedikit sebanyak hal ini akan menghapuskan sentimen perkauman yang dibangkitkan oleh gerakan dan parti tertentu yang menggunakan sentimen ini demi agenda sempit mereka.\nHala Tuju Identiti Sastera Kebangsaan Pada Abad ke-21\nJadi, memasuki abad ke-21, sepatutnya persoalan identiti kebangsaan dalam kesusasteraan tempatan tidak wajar menjadi isu lagi kerana sudah berkurun lamanya kita sebenarnya hidup dalam suasana masyarakat majmuk.\nSaya ingin membawakan singgungan Faisal Tehrani dalam artikelnya bertajuk \u201cPembohongan 50 Tahun\u201d (2021) dalam Svara Isu 6: April\u2013Jun 2021. Faisal Tehrani menyinggung Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) yang berlangsung pada tahun 1971 yang telah bertindak menyempitkan nuansa kebudayaan dan kesusasteraan Melayu sehingga impaknya telah sampai membina jurang yang luas, bukan sahaja antara sastera Melayu dengan bukan Melayu, malah sastera Melayu itu sendiri seperti telah disempitkan pada sastera yang bercirikan nilai-nilai keislaman semata-mata, sedangkan tradisi kebudayaan dan kesusasteraan Melayu adalah sangat luas untuk diteroka.\nMenurutnya, \u201cPeletakan Melayu dan Islam sebagai batu asas Dasar Kebudayaan Kebangsaan mengorbankan sebahagian dari sejarah dan produk budaya penting negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum.\u201d Geneologi kebudayaan Melayu yang sangat rencam dan kosmopolitan pada era Hindu-Buddha semenjak era sebelum kedatangan Islam lagi seolah-olah telah diputuskan, sehingga perbicaraan sastera yang menyentuh perihal kepercayaan, seksualiti dan kebudayaan kaum lain telah menjadi tabu dan sensitif dalam masyarakat Melayu-Malaysia. Hal itu merupakan sesuatu yang wajar dikesali kerana perihal tersebut menyebabkan kanun kebudayaan kesusasteraan Melayu semakin mengecil dan menutup ruang kreativiti karya sastera terhadap nuansa kebudayaan asal yang jauh lebih luas. Dalam hal ini, kita masih jauh terkebelakang daripada sastera Indonesia yang boleh membicarakan semua yang kita kononnya anggap secara sensitif itu dengan lebih kreatif dan terbuka.\nJadi, memasuki abad ke-21, sepatutnya persoalan identiti kebangsaan dalam kesusasteraan tempatan tidak wajar menjadi isu lagi kerana sudah berkurun lamanya kita sebenarnya hidup dalam suasana masyarakat majmuk. Tradisi kosmopolitanisme tidak asing sebetulnya dalam kebudayaan kita. Interaksi kebudayaan kaum sudah lama membentuk identiti masyarakat kita pada hari ini. Setelah sekian lama kita hidup dalam pergaulan campur ini, sepatutnya rasa kecurigaan yang membina jurang hubungan antara kaum sudah selesai, dan kita semua boleh hidup dalam satu kebudayaan nasional yang boleh bercirikan majmuk budaya.\nSaya boleh bersetuju bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa keutamaan kebangsaan, sebagai tonggak pada kesusasteraan, tetapi dalam masa yang sama, tidak wajar untuk dipinggirkan pula bahasa persuratan kaum lain, seperti bahasa Cina dan India, apatah lagi bahasa-bahasa komuniti asal seperti bahasa Orang Asli, Melanau, Iban, Kadazan, Bajau, Dayak, dan sebagainya. Sebabnya, bahasa itu mewakili kebudayaan kaumnya, jadi adalah tidak wajar sekali untuk kita meminggirkan bahasa kebudayaan dan kesusasteraan kaum lain lantas seolah-olah kita bersikap memperkecil dan tidak menerima keunikan majmuk budaya di negara kita. Kebudayaan ialah satu perihal yang sangat unik, dan adakala bahasa asing tidak dapat menggambarkan inti kebudayaan tersebut sebaik dalam bahasa asalnya. Kewujudan mereka sebagai sebahagian daripada komuniti masyarakat Malaysia wajar diiktiraf dengan memberi ruang untuk mereka menyuarakan aspirasi kebudayaan mereka ke tengah arus perdana.\nDalam hal ini, saranan sahabat panelis forum saya, Nur Adilla, yang mencadangkan untuk merancakkan terjemahan karya sastera Malaysia yang pelbagai bahasa ke dalam bahasa Melayu merupakan sesuatu yang perlu diambil perhatian yang serius, malah ada penerbitan karya dalam bahasa asal dan terjemahan bahasa Melayu diletakkan seiringan dalam satu buku. Inilah satu contoh inisiatif yang sangat bagus dan wajar diperbanyak lagi supaya seluruh masyarakat Malaysia saling dapat kenal-mengenali kebudayaan kaum dan etnik lain yang telah hidup bersama-sama setelah sekian lama.\nMaka, hala tuju identiti sastera kebangsaan pada abad ke-21 tidak wajar lagi menjadi isu sebetulnya, kerana kita sebenarnya sudah memasuki era kita hidup secara berbilang kaum selama ratusan tahun lamanya. Malah, kemerdekaan kita sendiri dicapai melalui kerjasama berbilang bangsa tersebut, dan hal-hal yang membawa kepada jurang perkauman dan suara rasisme itu sudah selesai. Tumpuan utama dalam sastera yang beridentiti kebangsaan ini sepatutnya menumpu kepada pemerkasaan suara kesusasteraan dan kebudayaan daripada kaum-kaum lain, terutamanya kelompok etnik asal pedalaman dan Kepulauan Borneo yang sangat jarang-jarang sekali diberikan tempat dalam media arus perdana.\nPercayalah, keunikan identiti sastera kebangsaan sebegini di Malaysia yang hampir tiada di mana-mana benua lain akan menjadi suluhan terhadap kelompok sastera antarabangsa untuk memerhati perkembangan arus kesusasteraan Malaysia pula.\n_________________________\nA. Muziru Idham ialah mantan peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 2009. Karya-karyanya dalam genre puisi, cerpen dan esei banyak disiarkan dalam media cetak dan dalam talian. Pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) serta Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI). Beliau juga merupakan pengasas bersama Jurnal Sang Pemula, iaitu kumpulan anak muda yang membawakan wacana alternatif sains sosial dan kesusasteraan demi kemanusiaan yang lebih baik." "Digitalkan Kamus Dewan Perdana untuk Manfaat Pengguna \u2013 YB Datuk Dr. Radzi Jidin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan berharap agar masyarakat dapat memanfaatkan dengan sebaik-baiknya sumber rujukan bahasa Melayu menerusi Kamus Dewan Perdana (KDP) terbitan Dewan Bahasa Pustaka (DBP). Bagi membolehkan bahasa Melayu terus berkembang, beliau juga berharap agar KDP didigitalkan untuk manfaat pengguna di Malaysia serta masyarakat di luar negara. Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya bersempena dengan\u00a0Majlis Pelancaran Kamus Dewan Perdana \u201cKhazanah Unggul Negara\u201c di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, yang berlangsung pada pukul 11.30 pagi tadi.\nMenurut beliau, KDP merupakan kamus bahasa Melayu yang amat penting, iaitu penggunaan bahasanya selari dengan perkembangan pada masa ini.\nKDP cukup lengkap dan menjadi khazanah unggul negara kita kerana lebih 120 000 entri dalam bahasa Melayu telah terakam. Oleh itu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penerbitan dan pelancaran\u00a0Kamus Dewan Perdana\u00a0ini. Usaha yang dilaksanakan oleh semua pihak yang terlibat dalam menyiapkan kamus ini amat besar sumbangannya dalam bidang kebahasaan.\u00a0\nTambah beliau, bahasa yang digunakan dalam buku-buku lama dan kitab-kitab lama cukup berbeza daripada bahasa yang digunakan oleh masyarakat kini. Sehubungan dengan itu, kamus ini boleh dirujuk oleh sesiapa sahaja. Perkataan lama mesti dikekalkan selain penambahan kosa kata baharu dalam kamus. Kosa kata wajar ditambah dari semasa ke semasa supaya kamus ini sentiasa relevan pada setiap zaman. Oleh itu, bidang perkamusan ini memerlukan proses yang mendalam yang melibatkan banyak pakar bahasa.\nAmat penting untuk DBP mendigitalkan KDP dengan secepat mungkin agar semua ahli masyarakat boleh menggunakannya secara pantas dan berkesan. Semoga usaha murni ini menjadi langkah bermakna ke arah mencapai sasaran dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam segala aspek kehidupan seharian kita.\n\u00a0\nKDP merupakan kamus terbaharu yang diusahakan oleh DBP dan merupakan kamus Melayu pertama di dunia yang memanfaatkan sumber data dari pangkalan data korpus yang dibangunkan oleh DBP dan juga data Internet. Data korpus yang besar dan luas ini membolehkan para penyusun kamus memanfaatkan data secara optimum untuk menghasilkan pemerian makna kata yang jitu dan dapat diandalkan.\nSementara itu, majlis pada pagi tadi terlebih dahulu diserikan dengan ucapan alu-aluan oleh YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola DBP. Menurut beliau, KDP disusun dan dihasilkan berikutan dengan ledakan maklumat, kemajuan teknologi dan penemuan baharu yang merentas pelbagai bidang ilmu dan kehidupan.\nKatanya lagi, pelancaran KDP ini diharapkan bakal menjadi sejarah baharu bukan sahaja dalam dunia leksikologi Melayu malahan dapat menjadi kebanggaan rakyat Malaysia secara keseluruhannya dalam meneruskan legasi unggul pemeliharaan kosa kata dan persuratan Melayu dalam era ini.\nYang turut hadir dalam majlis ini ialah YBhg. Dato\u2019 Ts. Kamel Mohamad, iaitu Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Jabatan Perkhidmatan Awam, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, iaitu Ketua Pengarah DBP, ahli Lembaga Pengelola DBP, dif kehormat yang lain, pegawai DBP, pensyarah dan para pelajar dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) serta pelajar sekolah." "Kemurnian Dakwah dalam Cerpen Rejab F.I.\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nOsman Ayob membicarakan dua cerpen Rejab F.I. yang tampil kental sebagai wadah dakwah yang menginsafkan.\nDalam hal ini, sastera dapat dijadikan \u2018kitab\u2019 yang menerusi penghayatannya, para insan dapat mengenali dengan lebih dekat dan khusyuk sifat diri dan dalamannya.\nDakwah mempunyai pengertian yang luas dan memerlukan huraian yang panjang. Walau bagaimanapun, dalam bicara ini, penulis hanya memetik pengertian \u201cdakwah\u201d mengikut pandangan Nor Sarah Abu Kassim (2018) yang menjelaskan bahawa dakwah dapat ditakrifkan sebagai satu kegiatan seruan bagi tujuan membawa manusia kepada kebahagiaan, keadilan dan kemakmuran, yang matlamat akhirnya mencapai keredaan Allah SWT dalam kehidupan.\nPenulis menggunakan dua buah cerpen Rejab F.I. berjudul \u201cMonolog Awang Batil\u201d dan \u201cPasrah\u201d sebagai bahan huraian cara dakwah memainkan peranan, khususnya melalui karya kreatif yang juga boleh berperanan menyampaikan mesej dakwah. Kedua-dua cerpen ini tersemat dalam kumpulan cerpen Rejab F.I., Papervine (DBP, 2015). Dalam hal ini, sastera dapat dijadikan \u201ckitab\u201d yang melalui penghayatannya, para insan dapat mengenali dengan lebih dekat dan khusyuk sifat diri dan dalamannya, sehingga timbulnya pertambahan dan peningkatan rasa kecintaan dan kehormatan insan yang lebih besar dan murni terhadap fitrah makna dirinya. Dengan ini, sastera juga dapat menjadi wadah yang mempertingkatkan nilai ketakwaan seseorang terhadap Allah.\nMelalui cerpen \u201cMonolog Awang Batil\u201d dipaparkan bagaimana seorang penggiat seni tradisional, Tok Batil memperhamba dirinya kepada dunia seni sehingga dia mengabaikan suruhan dan kehendak Allah. Oleh sebab begitu komited dengan permainannya, dia tidak sedar dirinya sudah berusia 80-an dan keuzuran menginsafkan dirinya tentang kehidupannya yang sudah berada di penghujung. Elemen dakwah yang mengalir dalam diri Tok Batil selain datang dari luar, tetapi menjengah sendiri ke dalam dirinya:\nDan tiba-tiba pula sungai keinsafan mengalir dalam jiwanya. \u2018Kau ni dah tua, Tok Batil. Umur kau dah\u00a0 menjangkau lapan puluh. Selama ini kau langsung tidak mengingati pencipta-Mu, kau terlalu asyik dengan batilmu, dengan gendang tarimu, dengan wayang kulitmu. Bukankah kau kini telah mencapai ke penghujung hidupmu?\u2019 kata-kata itu menunjangi kalbunya. (Papaverine, 2015:160\u2013161)\nPeranan berdakwah kepada Tok Batil juga datang daripada sahabatnya sendiri. Haji Kasim tidak pernah berputus asa memberikan nasihat dan teguran kepada Tok Batil. Akhirnya, setelah sekian lama Haji Kasim berdoa, Tok Batil insaf dan datang menemui Haji Kasim lalu berkata, \u201cAjarkan saya solat. Saya sudah terlanjur begitu jauh.\u201d (2015:167).\nSebagai seorang penglipur lara yang terkenal, Tok Batil mempunyai ramai kenalan termasuk pemimpin persatuan penulis, pencinta budaya tradisional, malah pengkaji yang tidak jemu membuat kajian terhadapnya. Kajian itu meliputi struktur persembahan, jampi serapah dan dialog yang digunakan. Setelah mendekati ajaran Islam, Tok Batil sedar selama ini permainannya bercanggah dengan kehendak agama. Tok Batil akur dan bersedia melakukan perubahan dengan meniadakan jampi serapah Melayu dan jampi serapah Siam yang dipetik daripada ajaran Buddha. Dia sedar, kandungan jampi itu syirik dan bertentangan dengan ajaran Islam. Namun begitu, Haji Kasim menyatakan rasa simpatinya dengan berkata: \u201cAbang Mud kerjakanlah ibadat sungguh-sungguh. Abang Mud boleh juga teruskan bermain Awang Batil dan Gendang Tari Inai tu. Permainan itu sumber nafkah hidup Abang Mud.\u201d (2015:168).\nKata-kata Haji Kasim menyedarkan Tok Batil bahawa permainan tradisionalnya boleh mendatangkan rezeki yang halal selagi tidak melanggar hukum agama. Dia menganggap keputusannya meninggalkan kumpulannya, satu keputusan yang tepat dan tidak merugikan. Dia masih boleh mempersembahkan permainannya secara solo, dengan batil dan gendangnya.\nMelalui cerpen \u201cPasrah\u201d pula, Rejab F.I. memaparkan watak utamanya, Datuk Kamaruzaman yang hanya sedar dan insaf melakukan banyak dosa setelah bersara pada usia 55 tahun. Dia mengalami tekanan emosi apabila teringatkan banyak dosa yang dilakukan ketika berkhidmat dalam sebuah institusi kerajaan. Datuk Kamaruzaman berasa tersindir pada majlis persaraannya. Dia diberi tepukan yang bergemuruh apabila presiden kesatuan kakitangan berucap:\n\u2018Saudara-saudara sekalian, kita tentu tidak akan lupa segala jasa\u00a0 dan bakti bekas ketua pengarah institusi kita selama beliau memegang teraju pentadbirannya. Saudara-saudara tentu maklum, semenjak Datuk Kamaruzaman berhidmat di sini begitu banyak produktiviti minyak kelapa sawit dapat dikeluarkan. Beliau salah seorang berusaha menentang pihak Amerika yang cuba memburuk-burukkan mutu dan kualiti minyak sawit negara kita. Bukankah begitu saudara-saudara?\u2019\nPara hadirin menyahut \u2018Ya! Ya! Ya!\u2019 dan disambut dengan tepukan bergemuruh dalam ruang dewan, majlis merasmikan persaraannya itu.\nDia tersenyum dan menunduk tersipu-sipu.\n(Papaverine, 2015:291)\nDatuk Kamaruzaman tunduk dan tersipu-sipu kerana ucapan yang memujinya itu terselindung di sebalik kenyataan sebenar. Cenderamata yang diterimanya menambahkan ironi yang menekan jiwanya. Sehelai sejadah, kain pelekat dan ketayap terselit di antara barang-barang lain yang berharga untuk kenang-kenangannya. Cenderamata itu kemudian menjadi bahan \u201cdakwah\u201d padanya. Di sini, ternyata unsur material turut memainkan peranan mempengaruhi naluri seseorang. Setiap kali dia duduk di atas sejadah untuk mendirikan solat, dia menangis. Suara hatinya merintih: \u201cTidak! Tidak! Tidak! Dosa dan kesalahan aku mengatasi segala jasa dan baktiku itu. Mereka sengaja melupakannya. Sengaja\u00a0 memilih yang baik-baik untuk memuji kedudukanku dulu. Sebenarnya aku berdosa kepada negara dan rakyat negara ini.\u201d (2015:293).\nDatuk Kamaruzaman tidak dapat melupakan dosa dan penyelewengan yang telah dilakukannya. Dia pernah menerajui pentadbiran sebuah institusi yang mengendalikan pengeluaran minyak sawit. Dia terbabit dalam pembinaan kilang dan pembelian mesin memproses minyak sawit. Datuk Kamaruzaman termakan pujukan pegawai tingginya yang tidak jujur. Melalui orang perantaraan, dia terpengaruh untuk membeli mesin dan jentera kelapa sawit dengan harga yang rendah. Mesin dan jentera yang berharga RM2.5 juta itu dibeli dengan harga RM500 ribu sahaja. Dia dan pegawainya mendapat habuan daripada pembelian mesin terpakai itu yang kemudiannya tidak boleh digunakan dan terbiar sebagai besi buruk di sebelah kompleks pejabatnya.\nMelalui cerpen ini, watak Rafidah, isteri Datuk Kamaruzaman bertindak selaku pendakwah yang menenteramkan hati suaminya. Menyedari hakikat bahawa suaminya berada dalam keadaan resah gelisah setelah bersara sedangkan hidup mereka mewah, mendiami banglo yang indah dan selesa, sebagai isteri, Rafidah tidak berputus asa untuk mengembalikan ketenteraman dan kebahagiaan rumah tangga mereka. Salah satu caranya adalah dengan mengajak suaminya banyak beribadat dan bertaubat kepada Allah. Sedar bahawa diri mereka sudah tua, tetapi ketuaan bukan sekadar mengundang keinsafan, malah bagi orang Islam, ketuaan juga menjadikan seseorang itu ingin mematuhi ajaran agama. Hal ini sepadan dengan pendapat Jujun Suriasumantri (1990:196) yang menegaskan:\nAgama merupakan sumber tentang moral iaitu penilaian apa yang baik dan apa yang buruk. Dalam mencapai tujuan tertentu, maka bagi mereka yang beragama tidak semua cara itu diperkenankan. Bagi mereka yang beragama tidak berlaku kaedah \u2018tujuan menghalalkan cara.\u2019 Pada hakikatnya agama memberikan petunjuk tentang cara yang baik untuk mencapai tujuan tersebut.\nDalam cerpen \u201cPasrah\u201d perlakuan watak Datuk Kamaruzaman bergerak selari dengan usianya yang lanjut. Sebagai penyelesaian pada konflik dalam dirinya, Datuk Kamaruzaman meluahkan kekesalannya seperti berikut: \u201c\u2018Oh, aku amat berdosa! Aku amat berdosa! Ampunilah dosaku ini.\u2019 Air mata berderai di pipinya.\u201d (2015:298).\nInsaf atas kesilapan dan keterlanjuran yang dilakukannya menyebabkan Datuk Kamaruzaman terfikir untuk menebus dosa yang telah dilakukannya. Dia lebih sensitif terhadap persekitarannya. Dia teringat kepada surau yang daif dan boleh dibaiki dengan wang kekayaannya. Di sekitar kehidupannya, terdapat rumah anak yatim dan orang tua miskin yang boleh dibela dengan menyedekahkan wangnya untuk kebajikan mereka. Selain mengerjakan solat, membayar zakat dan berpuasa dalam bulan Ramadan, dia berusaha menebus dosanya dengan mengerjakan haji di Mekah. Di sana, dia berpeluang bertaubat dan memohon keampunan Allah. Dalam hubungan ini, persekitaran juga berperanan menjadi bahan \u201cdakwah\u201d Datuk Kamaruzaman.\nKesimpulannya, melalui dakwah, tercetusnya kefahaman ilmu, perasaan taubat dan mencari ketakwaan dalam kehidupan manusia. Pendekatan dakwah yang dibincangkan bertujuan untuk mencari kebaikan dalam masyarakat yang mendasari keimanan yang bersendikan akidah Islam. Justeru, berpaksikan aspek keagamaan, dua buah cerpen yang dibincangkan bersesuaian dengan nilai ketakwaan, keindahan dan kemuliaan yang menjadi asas pada pendekatan dakwah.\nBeli kumpulan cerpen Papervine.\n_________________________\nOsman Ayob, penulis veteran kelahiran Kedah telah menghasilkan 10 buah kumpulan cerpen persendirian, 10 buah novel dewasa dan 15 buah novel kanak-kanak dan remaja. Beliau telah memenangi pelbagai hadiah dan sayembara penulisan. Novel Meniti Impian\u00a0menjadi teks KOMSAS di Selangor, Negeri Sembilan dan WP Putrajaya dan WP Kuala Lumpur. Beliau berkelulusan Sarjana Sastera (Kesusasteraan Melayu), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang." "Abdulrazak Gurnah, Hadiah Nobel dan Wacana Kolonialisme\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKemenangan Nobel Abdulrazak Gurnah terus mendatangkan polemik dalam dunia sastera. Mohd Fadzil Yusof menerangkan mengapa kemenangan seorang pencari suaka ini patut diraikan.\nJusteru, subjek yang dirujuk untuk mengabsahkan kemenangan Abdulrazak merupakan suatu yang sangat tersisih sekian lama dalam peta kerangka Eurosentrik yang pernah menjadi isu yang tegang suatu masa dahulu.\nPada 7 Oktober 2021, Abdulrazak Gurnah diumumkan sebagai penerima Hadiah Nobel bagi Kesusasteraan atas penulisan yang berintipatikan penjajahan dan pelarian, yang turut melakarkan perbezaaan antara budaya dengan ruang benua yang saling nyata dan dampak dalam situasi sekarang. Kemenangan yang berpihak kepada Gurnah juga disambut oleh Wole Soyinka, penerima Hadiah Nobel 1986 yang menyebutkan perihal kolonialisme merupakan persoalan yang masih utuh dan paling absah digarap dalam bentuk seni atau kesusasteraan, dan meyakini bahawa langgam sebegini akan terus bertambah biak pada masa akan datang walau dalam pertarungan yang terus ada.\nAbdulrazak Gurnah merupakan seorang pencari suaka di Eropah sekitar 50 tahun lalu. Beliau begitu bertuah melanjutkan pengajian sarjana di London dan memperoleh ijazah kedoktoran di Universiti Kent, Amerika Syarikat dengan tesis beliau yang bertajuk \u201cCriteria in the Critism of West African Fiction\u201d, dan kini telah bersara sebagai pensyarah di universiti yang sama dalam bidang Kesusasteraan Inggeris dan Pascakolonial. Dalam pengumuman daripada wakil Jawatankuasa Akademi Nobel, mereka menegaskan juga perihal peri penting subjek yang dibawa oleh pengarang besar ini dalam dunia kesusasteraan yang berjaya meninggalkan kesan yang sangat mendalam dalam sebuah pengkaryaan, apatah kesedaran tentang kolonialisme tidak berapa dipedulikan dalam era tampak mutakhir ini.\nPengarang yang berasal dari Tanzania atau Zanzibar ini pernah menarik perhatian khayalak sastera apabila karyanya yang berjudul Paradise yang disenarai pendek bagi Hadiah Booker pada tahun 1994. Dilahirkan pada tahun 1948, beliau melepaskan diri ke United Kingdom daripada rejim kerajaan ketika itu. Revolusi Zanzibar turut berlaku masa itu. Meskipun bahasa ibunda beliau ialah Swahili, tetapi dalam fiksyennya bahasa Inggeris menjadi wahana pilihan untuk mengungkapkan pengalaman-pengalaman terpilihnya dalam novel.\nPada usianya 21 tahun, beliau menghasilkan novel pertama berjudul Memory of Departure (1987) yang mengungkapkan sekitar trauma kolonialisme, perang dan penghijrahan. Selepas itu, beliau terus prolifik dengan karya-karya lain, antaranya termasuk Pilgrims Way, Paradise, By the Sea, Desertation, dan yang terbaharu, Afterlives. Lewat karya-karya ini, Abdulrazak telah meneroka ruang pengalaman pelarian yang tergantung antara kehilangan dengan pembebasan, yang tidak selalu diketengahkan oleh pengarang lain. Seperti yang dinyatakan oleh pengerusi Anders Olsson selaku Jawatankuasa Nobel bagi Kesusasteraan, pihak mereka sudah lama mengikuti hasil karya Gurnah, yang sudah giat berkarya sejak 1980-an lagi, selain beliau juga merupakan \u201cpengarang paling menonjol membicarakan dunia pascakolonial pada masa sekarang\u201d. Secara tidak langsung, sememangnya subjek kolonialisme dan migrasi yang sentiasa dilihat terpencil dan hanyalah dalam ranah tertentu, tapi sudah menjadi rencah pengalaman manusia yang tidak mungkin dapat dipadamkan oleh sejarah.\nJusteru, subjek yang dirujuk untuk mengabsahkan kemenangan Abdulrazak merupakan suatu yang sangat tersisih sekian lama dalam peta kerangka Eurosentrik yang pernah menjadi isu yang tegang suatu masa dahulu. Antara sosok yang hampir mendekati ikon subjek sebegini ialah Edward W. Said yang mencetuskan karya yang masyhur Orientalism (1978), dan sedikit terbelakang dari runut masa kini, iaitu Frantz Fanon dalam karya pentingnya Les damnes de la terra (1961) diterbitkan dalam bahasa Inggeris dengan judul The Wretched of the Earth. Secara lansung, pembaca akan melihat semula jejeran pemikiran itu sebenarnya saling berkaitan pula, mungkin secara tidak lansung, dengan penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan sebelum ini, iaitu V.S Naipaul dan juga J.M Coetzee.\nParadoksnya, hadiah tahun ini diberikan kepada seorang pengarang yang berasal dari benua Afrika sementelah lebih sedekad Akademi Sweeden tidak mempertimbang mana-mana pengarang melainkan yang berasal dari Eropah. Ramai beranggapan bahawa hal ini merupakan faktor tumpuan Eurosentrik yang cukup luar biasa. Di samping terdapat berbagai-bagai khabar angin dan desas-desus sebelum pengumuman yang berlansung pada 7 Oktober itu, wujudnya kemungkinan-kemungkinan tuah yang berpihak kepada pengarang lelaki (atau wanita) dari Eropah kerana tahun lalu diberikan kepada penyair Amerika, Louise Gluck apabila bilangan penerima Nobel daripada kalangan wanita yang tidak ramai. Selain itu, ada disebutkan juga pengarang dari Afrika kerana sekian lama pengarangnya tidak diangkat, paling terakhir ialah Nadine Gordimer (1991) dari Afrika Utara, dan sebelumnya Naguib Mahfouz (1998) dari Mesir.\nKemenangan Abdulrazak Gurnah pula menerima tindak balas yang pelbagai. Antara reaksi yang positif ialah ucapan \u201cHadiah Nobel sudah kembali ke pangkal jalannya.\u201d Namun, perkara ini juga suatu \u201cfenomena\u201d yang menarik kerana pertimbangan karya makin diposisikan dengan seimbang dan tidak sekadar disorot dan diminimumkan pada rupa atau benua tertentu. Hal ini bersesuaian dengan aspirasi dan tujuan pengwujudan Nobel itu sendiri yang menjangkaui latar belakang yang terbatas, maka seperti diperakukan juga, penilaian semestinya dikembalikan kepada \u201cmerit kepengarangan atau hasil kesusasteraan yang lebih diperhatikan daripada personaliti pengarang\u201d.\nSebelum ini, kontroversi skandalnya mencacatkan nama Akademi Sweeden, justeru Jawatankuasa Hadiah Nobel telah memungkinkan tindakan menyusun dan kembali membetulkan haluan. Isu dua tahun lalu, pemilihan Peter Handke untuk tahun 2019 telah mencetuskan kontroversi rentetan dianggap memihak kepada kerajaan Serbia dalam isu konflik kemanusiaan atau penghapusan etnik di negara Kosovo yang berlaku pada tahun 1998\u20131999. Sebahagian pemerhati membantah dan mengkritik pengiktirafan Handke, malah meminta untuk menarik semula penganugerahan itu demi menjaga reputasi dan nama institusi Nobel itu sendiri. Jawapan yang diberikan setelah dipersoalkan atas pemilihan Handke ialah, beliau seorang yang tidak bersifat politikal dalam karyanya dan sokongannya terhadap Serbia telah disalahfahami.\nDemikian itu, pihak Akademi menanggung risiko akan keputusan yang dibuat pada dua tahun lalu itu, juga dapat kita fahami sebagai suatu takdir. Namun begitu, kembalinya Hadiah Nobel kepada landasan yang munasabah, akan memberikan peluang cerah kepada karya-karya yang bermutu dari segenap benua, yang mempunyai inti pati yang universal dan membina kemanusiaan, selain hanya melihat juzuk-juzuk persembahan seni atau penceritaan yang kerap bertindinan dalam bentuk kerangka yang sama dan wilayah yang sama.\nKelainan yang dibuat kali ini memang menumpangkan tuah kepada sastera yang \u201cdikaburkan dan yang dihitamkan\u201d dalam peta globalisasi, dan barangkali harus difahami sebagai warna pengalaman yang mungkin membina keseimbangan kemanusiaan serta hubungan kewujudan alami, dan bukannya suatu tragedi yang terpencil. Sama juga sepertimana Edward W. Said yang memperjuangkan isu Palestin, pelarian dan imperialisme, juga pengarang dari India yang menulis sastera bernada ambiguiti dalam bahasa Inggeris, yang cuba mengutarakan naratif sudut pandangan pertama selaku seorang Asia yang bermustautin di benua Eropah, juga pengarang seperti Ngugi Wa Thiong\u2019o dan Nuruddin Farah dengan cerita berkisar kehidupan sosiopolitik yang berlaku di negara dunia ketiga.\nDalam masa yang sama, melalui penobatan Abdulrazak Gurnah juga, obor perjuangan membawa wacana pascakolonial mungkin menjadi lebih menyala dengan lebih terang dan menarik perhatian selepas ini, tidak lagi mungkin terhadap benua Afrika sahaja, malah pada benua Asia juga. Seperti yang dikatakan oleh Soyinka, wacana ini tidak harus tertutup dan dipinggirkan dek pop culture dan ketegarannya (langsung mengenangkan kita kepada penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 2016, Bob Dylan).\nKemenangan ini juga suatu bentuk sambutan dan kalungan bunga kepada sejumlah pewacana pascakolonialisme dari pelbagai negara yang terus mengemukakan dialog kesenjangan sebuah identiti terhadap suatu autoriti yang sering kali terjerumus dalam arus kesendangan yang mendiamkan.\nTahniah Jawatankuasa Akademi atas haluan yang dijanjikan! Tahniah kepada Abdulrazak Gurnah!\nBerita Berkaitan |\n\u201cDunia Hari ini Lebih Kejam\u201d \u2013 Abdulrazak Gurnah\n\n_________________________\nMohd Fadzil Yusof menulis puisi, rencana dan cerpen. Karyanya pernah tersiar dalam akhbar Berita Harian, Mingguan Wasilah, Harian Metro, Mingguan Utusan Melayu, majalah Dewan Sastera, Nur, Siasah, Dewan Budaya, Tunas Cipta, dan Milinea Muslim. Karya bukunya termasuk novel Berahi Sukma (ITBM, 2015), kumpulan cerpen Terbang Layang-layang (DBP, 2016), dan kumpulan puisi Buku Kenangan Kala Pemukiman (DBP, 2019)." "Manuskrip Melayu Bukti Keintelektualan Tamadun Langkanya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Timbul satu bahana pertikaian berkenaan definisi manuskrip Melayu, yang awalnya menggunakan definisi berbunyi \u201ckarya tulisan Jawi yang bertulisan tangan di awal kurun ke-16 dan 20\u201d, seperti yang dipetik oleh Dr. Nadiatul Shakinah Abdul Rahman dalam tulisan Dr. Awang Sariyan. Pertikaian ini timbul melalui perantaraan soalan kritikal perihal bagaimana pula dengan manusrkip selepas abad ke-20?\nMaka, definisinya diubah oleh Perpustakaan Negara Malaysia kepada \u201cApa-apa segala bentuk tulisan tangan dalam bahasa rumpun Melayu iaitu tulisan Jawi, yang berusia sekurang-kurangnya seratus tahun,\u201d seperti yang diterangkan oleh Nadiatul dalam sebuah bual bicara Sabtu lalu. Katanya lagi, penggunaan terma \u201cbahasa rumpun Melayu\u201d itu tidaklah membataskan pada bahasa Melayu sahaja, malah turut mengambil kira bahasa-bahasa yang dinaungi oleh penduduknya, seperti bahasa Jawa, Bugis dan sebagainya.\n\u201cLatar belakang pengarang itu sendiri akan memperlihatkan penggunaan bahasa yang pelbagai dalam manuskrip Melayu. Itulah kerana wujud pelbagai bahasa yang ditulis oleh masyarakat tamadun Melayu,\u201d ujar Nadiatul. Malah, melalui keseragaman penulisan Jawi ini juga menunjukkan satu sudut intelektual dan gaya pemikiran yang menggambarkan corak kehidupan masyarakat dahulu yang tinggi tingkat intelektualnya.\nSebuah rancangan bual bicara sempena Dekad Bahasa Kebangsaan 2021, anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Universiti Malaya membuka ruang dan peluang untuk khalayak awam khususnya pelayar media sosial Facebook untuk mendengarkan perbincangan berkaitan manuskrip oleh para ahlinya. Dengan tajuk bual bicara \u201cYang Lama Dijunjung: Bual Bicara, Pentingnya Kajian Manuskrip Melayu Paparan Kehidupan Masa Lampau\u201d pada 16 Oktober 2021 (Sabtu) pada 11.00 pagi menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP, tiga bicarawan berkongsi perihal wacana ini, menekan isu, kepentingan dan peranan manuskrip Melayu lama membentuk masyarakat yang tinggi intelektualnya.\nDr. Nadiatul Shakinah Abdul Rahman dari Universiti Sains Malaysia dengan kepakaran Sastera Tradisional dan Psikologi dalam Sastera, sempat mengingatkan penonton bual bicara, menyatakan kepentingan memulihara dan melakukan kerja transliterasi manuskrip untuk merakam dan mengkaji ilmu yang disampaikan oleh masyarakat dahulu untuk generasi mendatang.\nLebih 20 ribu manuskrip Melayu telah berjaya dikesan di seluruh dunia, dan separuh daripada angka besar itu berada di Malaysia, manakala bakinya yang separuh lagi pula kini melata di 151 buah institusi seluruh dunia yang melakukan kerja kajian, pemuliharaan dan pengumpulan manuskrip Melayu.\nPersoalan mengapakah manuskrip Melayu menjadi tumpuan para sarjana dan pengkaji di luar negara, dijawab oleh Dr. Ros Mahwati Ahmad Zakaria. Beliau yang kini berkhidmat di Institut Tamadun dan Alam Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai felow penyelidik dan Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu menjelaskan, manuskrip Melayu boleh dijadikan pelantar untuk membuktikan kewujudan sebuah tamadun langka yang mempunyai nilai intelektual dan budaya tinggi di Asia Tenggara.\n\u201cMinat mereka terhadap manuskrip Melayu antaranya adalah kerana budaya kolonial dahulu yang mana mereka mempunyai hubungan dengan Alam Melayu, secara langsung atau tidak langsung, demi memenuhi objektif kedatangan mereka ke Asia Tenggara; untuk menguasai sosiopolitik dan sumber intelek tamadun Melayu,\u201d jelas Ros Mahwati.\nWarisan keintelektualan bahasa Melayu itu sendiri juga menjadi faktor utama. Manuskrip Melayu bukan sahaja bernilai kerana ilmu yang tertulis, malah kaedah menyediakan dan menulis sebuah manuskrip itu sendiri yang melahirkan aktiviti pentafsiran demi mempelajari warisan intelektual bangsa Melayu. Keunikan bahasa dan tulisan dalam manusrkip Melayu secara automatiknya menjadi tarikan dan faktor penting untuk mengkaji dan mendalami ilmu berkenaan.\nMenerusi wacana ini, Ros menegaskan, manuskrip Melayu merupakan gedung dan khazanah ilmu tamadun Melayu yang secara hakikinya boleh berpindah milik, dan dengan ini juga menyebabkan kejadian penyebaran kajian manuskrip Melayu dalam kalangan pengumpul manuskrip di seluruh dunia.\nBeliau juga menambah, manuskrip Melayu juga merupakan catatan persejarahan tamadun dan perakam sejarah yang memberikan peluang dan ruang untuk generasi kini mengetahui bagaimana kerajaan dibangunkan dan apakah asal usul kita serta apakah ilmu yang telah ditimbus zaman.\nSeorang lagi bicarawan dalam bual bicara manuskrip ini, Prof Dr. Muhammad Mustaqim dari Universiti Sains Islam Malaysia, juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Manuskrip Melayu di Perpustakaan Negara Malaysia. Beliau mengangkat idea penulisan Jawi yang bertanggungjawab merubah pelan dan struktur budaya penulisan di bumi bahasa Melayu.\nMenurut beliau, manuskrip Melayu ialah bukti cerminan akal budi dan pemikrian tamadun Melayu, menumpukan cakupan ilmu yang merangkumi keseluruhan aspek kehidupan. Peri pentingnya untuk memahami bagaimana satu bangsa itu berfikir, bertindak dan mengekspresikan perasan dan kreativiti mereka dapat diamati melalui aktiviti kajian manuskrip. Katanya, tulisan Jawi yang banyak diguna pakai dalam manuskrip Melayu juga merupakan ton signifikan dalam ciri-ciri intelektual dan takah kemajuan tamadun Melayu.\nMustaqim menegaskan, sejak kedatangan agama Islam, ia sekali gus telah mengubah dan mempengaruhi cara berfikir dan budaya masyarakat Melayu, termasuklah budaya menulis yang sedia ada juga berubah dan berkembang. Terdapat banyak bahan bertulis oleh penduduk berbangsa Melayu yang mencangkupi semua ruang kehidupan manusia, daripada kesihatan, ketukangan, kecantikan, kebudayaan, pemikiran, keagamaan, malah ilmu perang dan pertarungan langka.\nBeliau yakin dan memegang kenyataan bahawa tulisan Jawi adalah antara penyumbang besar yang mengembangkan budaya penulisan bangsa Melayu, khususnya kerana struktur bebas dalam kaedah penulisannya sendiri.\n\u201cTulisan Jawi yang diserap daripada bahasa Arab Parsi ini diguna pakai untuk menulis bahasa Melayu, namun, ia bukanlah terhad pada satu bahasa sahaja, malah hampir semua bahasa yang telah diucapkan serta dijadikan bahan penuturan masyarakat Melayu, boleh dituliskan ke dalam penulisan Jawi.\n\u201cKandungan manuskrip-masnukrip Melayu adalah sangat bernilai dan wajar ditonjolkan keistimewaannya, kerana hampir kesemua aspek kehidupan masyarakat terdahulu ada dalam manuskrip-manuskrip ini,\u201d ujar Mustaqim.\nOleh itu, olahan bahan-bahan fizikal ini adalah sangat penting. Antara \u201cjambatan\u201d untuk meneliti bahan-bahan manuskrip Melayu adalah melalui kemahiran membaca tulisan Jawi, khususnya Jawi lama. Kata Mustaqim, di samping perlunya untuk mempelajari dan menguasai Jawi baharu, Jawi lama juga harus diterapkan ke dalam generasi kini supaya tidak putus \u201cjambatan\u201d yang mengolah dan mengumpulkan nilai intelektual dalam naskhah berharga manuskrip Melayu.\nTonton bual bicara di sini." "Rentapan Sengit 15 Peserta Separuh Akhir Pertandingan Dendang Syair Antarabangsa ke-4 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPertandingan Dendang Syair Antarabangsa Kali ke-4 2021 peringkat separuh akhir yang telah berlangsung pada 6 Oktober lalu, menyaksikan kehebatan 15 orang peserta berentap secara dalam talian. Meskipun pertandingan diadakan dalam situasi kebiasaan baharu, namun aura semangat dan gema suara para peserta begitu memukau.\nPada asalnya, hanya lapan orang peserta sahaja akan mara ke peringkat akhir. Namun demikian, para panel dan panitia telah bersepakat mengangkat 12 orang peserta untuk mara ke peringkat akhir pertandingan. Pertandingan ini dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Persatuan Bitara Syair Melayu Nusantara.\nEnam orang peserta mewakili Malaysia dan enam orang mewakili Indonesia akan berentap pada 23 Oktober ini. Mereka yang mara ke peringkat akhir termasuk Anisa Cahya Ningrum dari Siak, Indonesia; Ezdianie Hayatie Omar dari Kuala Lumpur, Malaysia; Ibnu Zulqarnain, Pekanbaru, Indonesia; Jamilah Abu Bakar, Kuala Lumpur, Malaysia; Muhammad Fadhil, Medan, Indonesia; Muhammad Fauzan Izaan dari Sarawak, Malaysia; Muhammad Febriyadi, Tanjungpinang, Indonesia; Sabihah Abdul Wahid, Kuala Lumpur, Malaysia; Shaidatul Nadirah Shaharum, Melaka, Malaysia; Sutra Laila, Pekanbaru, Indonesia; Syahprizal AR.SS, Medan, Indonesia; dan Syaimaa Salleh, Selangor, Malaysia.\nPenaja utama untuk hadiah pertandingan akhir nanti merupakan barang kemas keluaran Makmur Gold. Tidak dilupa juga rakaman terima kasih daripada pihak penganjur terhadap Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia dan Kementerian Luar Negeri yang turut menyokong dan memberi sumbangan dalam menjayakan Pertandingan Dendang Syair Antarabangsa Kali ke-4 tahun ini.\nSiaran Langsung pertandingan boleh ditonton di laman sosial media Facebook JKKN, DBP, Makmur Gold Offical, Roslan Madun Rasmi, dan pelantar YouTube DBP Malaysia.\nTonton acara separuh akhir Pertandingan Dendang Syair Antarabangsa Kali ke-4 2021 di sini." "Revolusi Diri Menerusi Novel Adikarya China\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Karya realisme mendukung pemikiran-pemikiran yang mampu mengocak hati dan pemikiran pembaca, mengeluarkan hal yang terbenam dalam diri dan mencetuskan revolusi dalam diri mereka untuk mencapai taraf kehidupan yang lebih maju dan sejahtera.\nProgram Titian Sastera: Bicara Buku Sastera Terjemahan diteruskan dengan siri ketiga, novel Di Mana Ranting Dipatah membawakan para panel Zaleha Ahmat selaku penyunting karya dan Zhao [email\u00a0protected] yang merupakan seorang pensyarah Bahasa Melayu dari Guangxi University for Nationalities, China, serta moderator program, Eliyas Sulaiman Mohandas. Program ini disiarkan menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada 16 Oktober 2021 (Sabtu), pukul 3.00 petang.\nSiri kali ini membincangkan karya terjemahan Di Mana Ranting Dipatah: Sebuah Dunia Biasa\u00a0yang merupakan sebuah novel cemerlang dalam kesusasteraaan China oleh pengarang besar Lu Yao, dengan tajuk asalnya Ping fan de shi jie (Dunia Biasa) yang diterbitkan pada tahun 1986.\nPing fan de shi jie dikenali sebagai novel sejuta aksara dan mempunyai tiga jilid yang dihasilkan oleh Lu Yao selama enam tahun. Lu Yao merupakan pemenang Anugerah Sastera Mao Dun (1991), iaitu salah satu anugerah tertinggi sastera di China. Novel ini turut disenaraikan dalam 70 novel terkemuka sepanjang 70 tahun penubuhan Republik Rakyat China.\nSelain itu, karya ini juga telah diangkat menjadi drama televisyen (tahun 1990 dan 2015), dan pementasan teater (2017). Karya besar ini telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa, antaranya bahasa Inggeris, Arab, Jepun, Turki, dan Vietnam.\nNovel Di Mana Ranting Dipatah: Sebuah Dunia Biasa merupakan versi pendek daripada teks asal yang diterbitkan oleh Pusat Kebudayaan Han Malaysia, yang turut bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka.\nKarya Lu Yao ini merupakan sebuah karya aliran realisme yang diangkat menjadi cerminan perjuangan hidup masyarakat China selepas berakhirnya Revolusi Kebudayaan. Tema yang diangkat dalam novel ini adalah tentang kehidupan berkeluarga, latar kehidupan dalam kemiskinan, pendidikan, dan politik. Versi pendek ini tidak merincikan hal politik, seperti dalam naskhah asal.\nZaleha Ahmat berkongsi tentang bagaimana pemilihan tajuk Di Mana Ranting Dipatah dilakukan. Walaupun novel realisme ini mengangkat cerita kehidupan biasa namun karyanya menjadi suatu cerita luar biasa akibat tentangan dan konflik yang dihadapi oleh watak-watak yang mencetuskan revolusi dalam usaha mereka untuk keluar daripada kemiskinan. Di Mana Ranting Dipatah berasal daripada peribahasa Melayu, \u201cDi mana ranting dipatah, di situ air disauk\u201d yang menepati cara kehidupan watak-watak pada tempat yang dipilih oleh mereka untuk meneruskan kehidupan. Tajuk Di Mana Ranting Dipatah (DMRD) ini juga dipilih kerana mempunyai nilai sastera dan estetika daripada hanya menggunakan terjemahan literal, iaitu Dunia Biasa.\nZaleha turut menyatakan, terdapat dua novel sastera Malaysia yang boleh dipadankan dengan DMRD. Dari segi nilai sastera, novel Ranjau Sepanjang Jalan oleh Sasterawan Negara Shahnon Ahmad boleh dijadikan perbandingan, manakala dari segi nilai pemikiran dan tema, novel tiga jilid Lepaskan Kembali Aku ke Laut oleh Shaari Isa.\nNovel DMRD mengangkat peristiwa-peristiwa yang berlaku di China, antara tahun 1975 hingga 1985, pada era akhir Revolusi Kebudayaan. Zhao [email\u00a0protected] berkongsi realiti dan impak Revolusi Kebudayaan yang menyebabkan keadaan huru-hara buat seluruh negara dari segi pentabiran dan pendidikan, menyebabkan keruntuhan ekonomi yang memberikan impak besar kepada rakyat China. Lu Yao merakamkan perubahan besar dalam ekonomi, masyarakat dan politik selepas tamatnya Revolusi Kebudayaan dan muculnya Revolusi dan Dasar Pintu Terbuka dalam novel ini.\nWalaupun Revolusi Kebudayaan berakhir pada tahun 1976, namun kebebasan menghasilkan karya kritikan politik atau masyarakat masih belum bebas sepenuhnya. Disebabkan keberanian Lu Yao menghasilkan Ping fan de shi jie sejurus era Revolusi Kebudayaan tamat, beliau diangkat menjadi perintis pada revolusi sastera masyarakat, katanya.\nBagi Tuah, revolusi yang dibawa oleh Lu Yao bertentangan dengan revolusi kerajaan China yang berlandaskan kekerasan. Dalam novelnya, Lu Yao memasukkan revolusi untuk berubah atau melakukan perubahan untuk mengubah nasib. Contohnya, seperti watak Shao Ping yang memajukan dirinya, manakala watak Shao An mengubah nasib orang kampung dengan sistem ekonomi baharu.\nApabila menyentuh hal revolusi dalam karya Lu Yao ini, Zaleha pula menyatakan revolusi yang ditampilkan oleh Lu Yao merupakan revolusi positif. Watak-wataknya mencari revolusi mereka sendiri dan akhirnya berjaya mengubah kehidupan mereka. Penulis Lu Yao memasukkan banyak novel bacaannya daripada pengarang Rusia, Perancis dan Inggeris ke dalam bacaan watak Shao Ping, yang menonjolkan revolusi pemikiran yang dibawa oleh Lu Yao. Shao Ping keluar dari kampungnya untuk menuntut ilmu. Watak Shao An pula walaupun kekal di kampungnya tetapi pemikirannya terbuka. Shao An berjaya mengubah nasib keluarga dan masyarakat kampungnya. \u201cApabila manusia mengubah pemikirannya, semua benda akan berubah,\u201d kata Zaleha.\nKedua-dua panel membincangkan pembangunan insan watak-watak utama DRMD, iaitu Shao Ping dan Shao An. Shao Ping ialah seorang yang miskin dan rendah diri namun mempunyai tekad untuk belajar ke peringkat tinggi untuk mengubah nasib hidupnya. Pembangunan insan Shao Ping dipandu oleh bahan bacaanya yang membuka pemikirannya. Shao An pula membawa pembangunan masyarakat walaupun kekal di kampung. Shao An berkahwin dengan isterinya yang mempunyai pemikiran positif dan menyokongnya. Shao An membuka kilang dan membuka peluang pekerjaan kepada orang kampungnya lantas mencapai kejayaan dan menyebabkan Shao An menjadi contoh kepada masyarakat kampungnya.\nTuah juga berkongsi, naskhah ini masih lagi relevan dan mempunyai pengaruh yang besar terhadap generasi muda China hari ini kerana realiti jurang ekonomi bandar dan luar bandar masih besar. Pengalaman watak-watak dalam novel ini dekat dengan mereka yang ingin mengubah nasib, malah dijadikan panduan. Walaupun latar cerita sudah berlalu 50 tahun yang lalu, tetapi tema malar segar yang dibawakan dalam novel ini, seperti semangat revolusi, sifat kemanusiaan seperti persahabatan, kerajinan, sifat murah hati dan kebaikan, membuatkan karya ini masih dicari.\nPandangan dan harapan Tuah yang telah menterjemahkan beberapa karya popular sastera Cina kepada bahasa Melayu seperti Analek Confucius, terjemahan petikan pilihan Laozi, Puisi Dinasti Tang, dan terjemahan teks pilihan Yuangu (Opera Cina dari Dinasti Yuan 1271\u20131368) mengharapkan agar muncul lebih banyak kerjasama antara penterjemah kedua-dua negara supaya dapat menghasilkan terjemahan yang berkualiti tinggi.\nZaleha pula menyampaikan harapan supaya lebih banyak karya dapat diterjemahkan daripada teks asal bagi mengekalkan keaslian cerita. Beliau menekankan kepentingan membaca karya terjemahan kerana pembaca dapat memahami pemikiran, budaya yang berbeza, dan seterusnya dapat membentuk pembacanya menjadi manusia yang lebih baik.\nTonton bual bicara novel ini di sini.\n\nBerita Berkaitan |\nKarya Sastera Terjemahan: Mengangkat Budaya dan Citra Dua Negara" "Silat Seloka Zaman Digital\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan mendapati, walaupun seloka, sebuah karya puisi tradisional Melayu selalunya mencuit dan membuat ketawa, isinya tajam mengkritik masalah isu semasa yang bergolak dalam masyarakat sekarang.\nSeloka terus hidup kerana kritikan-kritikan dalam seloka masih relevan dengan situasi pada hari ini.\nPada 17 September saya membaca sebuah puisi yang menarik di Facebook Ghazali Lateh. Puisi tersebut berjudul \u201cLangkawi\u201d:\n\u00a0\nPakat terpa Langkawi pulak dah,\nMerenyut orang di jeti Kuala Kedah,\nSegala peraturan depa redah,\nNampak gaya wabak tak sudah-sudah.\nPenuh kapal terbang sampai berdiri,\nDua tiga kali ulang dalam sehari,\nDah hilang semua perasaan ngeri,\nEntah apa benda yang depa cari.\nPaling-paling pun beli coklat,\nPakat mandi laut sampai berkilat,\nKonon nak borong pelbagai alat,\nKedai tak buka muka terkulat-kulat.\nHati dah suka nak kata apa,\nMana-mana pun pakat terpa,\nSampah ditinggal buat-buat lupa,\nTeruk sungguh perangai depa.\nGhazali menulis puisi ini setelah melihat orang ramai yang berpusu-pusu ke Langkawi sebaik sahaja kerajaan memberikan kebenaran atau membuka Langkawi setelah ditutup di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Hal yang sangat mengganggu dan menjengkelkan perasaan Ghazali ialah sikap masyarakat yang seolah-olah tidak sabar lalu menyerbu ke sana. Mereka tidak langsung takut walaupun COVID-19 masih belum terhapus dari muka bumi. Bagi Ghazali, sikap terburu-buru rakyat menyebabkan wabak sukar dikawal. Beliau berpendapat, walaupun kerajaan memberikan kelonggaran, orang ramai sendiri sepatutnya berwaspada dan terus menjaga diri.\nPuisi Ghazali Lateh ini merupakan sebuah seloka. Dua elemen seloka jelas terlihat di dalamnya, iaitu:\nSelain itu, seloka mengandungi ciri-ciri berikut:\nSejak dahulu, seloka menjadi media mengkritik masyarakat. Pengarang sebenar kebanyakan seloka ini tidak dapat dipastikan, namun terbukti bahawa mereka pemikir yang amat tajam pemerhatiannya terhadap alam dan masyarakat di sekeliling. Mereka menyampaikan teguran serta kritikan. Lebih mengagumkan lagi apabila kritikan mereka kekal relevan sehingga hari ini.\nAntara seloka yang terkenal dalam kesusasteraan Melayu ialah \u201cSeloka Pak Kaduk\u201d, \u201cSeloka Pak Pandir\u201d dan \u201cSeloka Mak Si Randang\u201d yang berdasarkan pada cerita-cerita jenaka. Watak-watak seperti Pak Pandir, Pak Kaduk dan Mak Si Randang mewakili golongan yang telah menyebabkan kepincangan dalam masyarakat, lalu dikritik melalui sindiran yang tajam.\nSeloka terus hidup kerana kritikan-kritikan dalam seloka masih relevan dengan situasi pada hari ini. Sebagai contoh, \u201cSeloka Mak Si Randang\u201d mengisahkan seorang insan yang berbudi kepada orang lain sehingga sanggup berbuat apa-apa sahaja walaupun perbuatan itu merugikan sehingga merosakkan diri dan keluarga sendiri. Mak Si Randang menanak nasi menjamu si dagang (si perantau dari luar kampung) dan meruntuhkan rumah untuk mendapatkan kayu bagi menyalakan api. Dagang terbabit telah menghabiskan semua makanan hinggakan anak sendiri tidak ada apa-apa lagi untuk dimakan.\nWatak Mak Si Randang dikaitkan dengan pemimpin, khasnya pemimpin politik yang mengabaikan hak rakyat asal kerana lebih mengutamakan tuntutan orang lain/luar.\nSelain Mak Si Randang, baris-baris dalam \u201cSeloka Pak Kaduk\u201d, \u201cAyam menang kampung tergadai\u201d terus digunakan untuk menggambarkan situasi golongan yang berasa diri mereka telah menang, tetapi sebenarnya kerugian. Mereka mungkin berjaya mendapatkan kuasa politik, sedangkan kuasa ekonomi sudah berada di tangan orang lain. Watak Pak Pandir pula dijadikan misalan kepada orang bodoh yang tidak sedar bahawa dirinya ditipu. Pak Pandir melakukan perkara-perkara yang tidak kena pada tempatnya, \u201cKucing dibunuh, tikus dibela/Harta habis, badan tergadai/Mendengar gelagak dagang/Tak sedar bertelanjang/Mendengar guruh di langit/Air tempayan dicurahkan.\u201d\nSeloka Hidup di Media Sosial\nPeluang itu biasanya digunakan untuk menyampaikan pendapat dan rasa tidak puas hati .\nSeloka juga terus subur pada zaman digital. Malah, kini \u201cSeloka Pak Kaduk\u201d dan \u201cSeloka Pak Pandir\u201d dirakam di YouTube. Pada masa ini, terdapat pengguna media sosial yang mencatat pelbagai isu masyarakat dalam bentuk catatan di Facebook. Sesetengahnya boleh dianggap sebagai seloka yang menarik. Sebelum ini, seloka juga kedengaran dalam Persidangan UMNO, khasnya apabila wakil-wakil menyampaikan ucapan penggulungan. Peluang itu biasanya digunakan untuk menyampaikan pendapat dan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan parti. Perkara-perkara ini kalau diucapkan dengan berterus-terang ditakuti akan menimbulkan marah dan membahayakan diri orang yang berucap. Sebagai contoh, terdapat seloka yang pernah diucapkan oleh seorang wakil dari Pantai Timur:\nPerhimpunan Agung UMNO 2015 tamatlah sudah,\nPerwakilan pulang ke masing-masing daerah,\nYang dapat berucap melepaskan geram serakah,\nYang dilarang berucap menjadi tak tentu arah.\nYang menegur pemimpin dikatakan bersalah,\nDisuruh minta maaf kalau tak mahu terus kena marah,\nItulah antara bunyi yang kedengaran di segenap penjuru arah,\nDalam dewan, televisyen, radio, surat khabar dan kedai kopi Pakcu Lah.\nUcapan dasar Presiden bermain kata-kata,\nUcapan penggulungan begitu juga,\nHakikatnya demi mempertahankan diri belaka.\nKebijaksanaan seloka menyebabkan puisi tradisional ini terus hidup hingga kini. Kita telah lihat seloka \u201cLangkawi\u201d karangan Ghazali Lateh, seorang guru kelahiran Kedah. Sebelum ini, Ghazali telah banyak menulis seloka yang merupakan cetusan pemikirannya yang kritis terhadap isu-isu semasa.\nAntara lain, Ghazali turut menceritakan keadaan orang ramai yang asyik dengan telefon bimbit, sehingga leka bersembang dalam kumpulan WhatsApp. Antara yang dikritik termasuk kegemaran memanjangkan atau menularkan sesuatu perkara yang belum tentu benar dan sahih.\nSeloka Kisah Grup WhatsApp\nGrup WhatsApp pelbagai guna,\nMenyatukan ahli di mana-mana,\nTapi waspada kenalah cakna,\nAdakala mengganggu tidur yang lena.\nUcap selamat setiap masa,\nSetiap hari perkara biasa,\nSehingga kawan rasa tak selesa,\nNak balas ucapan macam terpaksa.\nBerita sensasi tersebar cepat,\nTak kira palsu ataupun tepat,\nNak buktikan dia yang awal dapat,\nYang percaya mula sesi mengumpat.\nAda berdakwah tak kira waktu,\nMenyebar syariat sudahlah tentu,\nHantar peringatan malam jam satu,\nkawan terbangun fikiran buntu.\nSeorang lagi yang sering mengarang pantun, syair dan seloka di Facebook ialah Shamsudin Puteh. Shamsudin ialah seorang pesara Jabatan Penerangan dan pernah berkhidmat di Bernama, malah pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 1986 bagi kategori puisi.\nCatatan-catatan menarik Shamsudin merupakan luahan perasaannya terhadap perjalanan hidupnya dan perkara-perkara yang dilihatnya setiap hari. Pada 5 Januari 2018, Shamsudin memuat naik sebuah seloka yang diberi tajuk \u201cDurian dan Anggur\u201d.\nDurian dan Anggur\nMasa dulu-dulu,\nDurian sebiji dua ringgit,\nDapatlah makan selalu,\nHati pun tak sakit.\nDilonggok menimbun-nimbun,\nDijual secara biji,\nKalau pergi ke kebun,\nDapatlah makan free.\nSekarang dah lain cara,\nDijual secara timbang,\nMahal tidak terkira,\nNak tawar pun rasa bimbang.\nBukan lagi si raja buah,\nTetapi buah untuk si raja,\nZaman sudah berubah,\nSi miskin tengoklah saja.\nSekilo berpuluh ringgit,\nUlas tidak seberapa,\nYang berat hanyalah kulit,\nBoleh duka nestapa.\nMana hati tak marah,\nHarga tidak berpatutan,\nAnggur pula yang murah,\nBerbanding buah tempatan.\nTapi apalah upaya,\nTak guna juga meradang,\nItulah nasibnya saya,\nTak punya dusun dan ladang.\nSebagai sebuah seloka, catatan ini tidak hanya bercakap tentang anggur dan durian. Hal yang lebih penting, seloka ini menyatakan kebimbangan terhadap masa depan orang Melayu yang telah kehilangan tanah dan semakin miskin sehingga tidak mampu untuk membeli durian. Dusun durian dan juga kekayaan negara berada di dalam tangan orang lain. Tulisan Shamsudin Puteh merupakan rintihan terhadap nasib orang Melayu yang kehilangan kampung halaman.\nSemoga para penulis, khasnya pengguna Facebook terus memanfaatkan media baharu ini untuk menghidupkan seloka dan puisi warisan lain yang mengandungi kebijaksanaan dan pemikiran yang tinggi.\n_________________________\nSasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan dilahirkan di Bakar Bata, Alor Setar, Kedah pada 13 Jun 1949. Beliau telah menghasilkan banyak kumpulan puisi perseorangan, termasuk Sesayup Jalan (Penerbit USM, 1974), Di Sini Tiada Perhentian (Pewarna, 1977), Keberangkatan (DBP, 1985), Kuala Lumpur and Other Places (Al-Huda, 1988), Pujangga Tidak Bernama (DBP, 1994), Pesanan dari Gunung Ledang/A Message from Mount Ledang (DBP, 2004), Salasilah (DBP, 2005), Menghadap ke Pelabuhan/Facing the Harbour (ITBM, 2010), Cerita dalam Cerita (ITBM, 2014), dan Menunggu Pesawat (DBP, 2021). Zurinah Hassan turut melahirkan beberapa cerpen yang sudah dibukukan dalam kumpulan cerpen Meneruskan Perjalanan (DBP, 1987) dan Menjelang Pemilihan (DBP, 2004). Di samping itu, beliau telah menghasilkan sebuah novel remaja, Hatimu Aisyah (DBP, 1991) dan beberapa buku kajian sastera. Selain menerima Anugerah Sastera Negara pada tahun 2015, Zurinah telah menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) di Thailand pada tahun 2004 dan penyair Malaysia yang pertama menerima Anugerah Sunthorn Phu pada tahun 2013 sebagai pengiktirafan penyair cemerlang ASEAN." "Dikau Yang Kurindui\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHampir satu alaf setengah dikau tinggalkan kami\nlamun amat hampir kurasakan kehadiranmu\nSerasa dapat kuhidu wangi kesturi tubuhmu\nSerasa dapat kunikmati senyum ihsanmu\nSerasa dapat kudengar lembut tutur katamu\nDikaulah sesungguhnya habibullah\nDikaulah sesungguhnya Rasul pilihan\npenyebar utuh kalam Allah\npenyampai teguh risalah Allah\npembebas bani Adam daripada syirik penyekutuan dewata nan esa\npenyeru persatuan umat di mayapada\npenghulu pendamai kabilah segalanya\nDikau yang kurindui\nDikau yang kudambakan syafaatmu\nDikau yang tiada lekang daripada bibir dan hatiku\nDikau yang sempurna sebagai suri teladan\nlantaran akhlakmu ialah al-Furqan\nAduhai dikau yang kurindui\nUmatmu sedang sakit keras kini\ndilanda ujian wahan\nhubuddunia\nGementar dirempuh gelombang kefasadan\nTeledor oleh kesesatan buatan\nDikau yang kurindui\nTebarkan syafaatmu atas rahmat al-Jalal\nKami umatmu memerlukan warisan kekuatan\ndaripada sahsiah dan akhlak yang menjadi pakaianmu\nDikau yang kurindui\nsemoga kami tetap dengan ikrar dan janji hati\nmematuhi sunahmu\nsepanjang hayat kami\ntidak menciptakan sunah sendiri\natau mengikuti sunah lain yang nanar\nuntuk kelak menemuimu\ndan menyertaimu di alam abadi dengan kebahagiaan hakiki dan sejati.\nAwang Sariyan Kembara Bahasa\nMalam Maulidur Rasul 1443" "Dua Suara Kehidupan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSuara nun di bawah bukit\nadalah suara segerombolan semut\nyang bercempera lembut\nbermain di kaki-kaki bukit\ndan angin menghembus deras\nlalu suara itu entah ke mana.\nSuara nun di atas bukit\nadalah suara sekawan kecil sang helang\nyang nyaring dan bergema\nlantunan suara mereka\nmenjunam padu terdengar\ndi kaki-kaki bukit.\nDua suara\nadalah permainan\nantara lembut dengan keras\nmenafsir makna keperibadian.\nRCM" "Abizai Sasterawan Negeri Sarawak ke-5 dalam Majlis Penyampaian Maya Gilang-gemilang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Acara penganugerahan sastera berprestij Sarawak, iaitu Anugerah Sastera Negeri Sarawak (ASNS) telah melabuhkan tirainya pada bulan Julai lalu, yang telah diperintiskan dan berlangsung sejak tahun 1994, selama 27 tahun sehingga hari ini.\nPada 19 Oktober 2021, menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP, berlangsung Majlis Penyampaian Anugerah Sastera Negeri Sarawak ke-10 anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak dan Kerajaan Negeri Sarawak.\nSejak tahun 1994, seramai lima orang telah dinobatkan dengan Anugerah Sastera Negeri Sarawak, bermula dengan Sasterawan Negeri Sarawak pertama Haji Muhammad Bujang (Melati Sarawak), kemudian Muhammad Rakawi Yusuf pada tahun 1995, Datu Dr Haji Adi Badiozaman Tuah pula menyusul (2009), dan kemudian Jong Chian Lai (2014). Kini, ASNS 2020 diberikan kepada Zainal Abidin Suhaili, atau lebih dikenali sebagai Abizai.\n\u201cSaya kini memikul tanggungjawab yang besar, untuk menghasilkan karya yang lebih baik dan bermutu pada masa akan datang,\u201d ucap Abizai.\nUcapan alu-aluan majlis turut diberikan oleh Yang Berusaha Encik Abang Haliman Abang Julai, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak. Ujar beliau, \u201cSastera merupakan medium komunikasi dan interaksi untuk berhubung dengan masyarakat dan membentuk masyarakat itu sendiri.\u201d\nUcapan penghargaan pula diberikan oleh Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, yang menekankan kepentingan masyarakat untuk menerima perubahan demi melangsungkan kehidupan dengan kekuatan gagasan persuratan yang perlu merangkumi pelbagai harapan dan impian negara.\nBeberapa sajak penerima ASNS 2020 ini dideklamasikan secara pementasan, termasuk \u201cNyamuk, Kelambu dan Bulan\u201d, \u201cDerita Bosnia-Herzegovina\u201d dan \u201cMengapa Harus Memilih Wajah Garang Peperangan?\u201d. Pada masa yang sama, Wacana Pemikiran Sasterawan Negeri Sarawak 2021 turut diadakan pada 20 Oktober bagi membicarakan kepengarangan dan hasil karya Abizai. Majlis diadakan di Hotel Imperial Miri, Sarawak.\nSetelah itu, karya Anugerah Penulis Sarawak (APS) Bahasa Iban Janang Ensiring, \u201cDunya Tu Panggau Pengelulu\u201c pula dipersembahkan dengan penuh semangat dan penghayatan.\nBagi Anugerah Genre Cerpen dan Anugerah Genre Novel yang dimenangi oleh Abang Median bin Abang Said, beberapa babak pilihan daripada novelnya, Jejak Hilang Yang Pulang dipersembahkan secara dramatik dan baik aturannya di atas pentas. Dalam ucapan penghargaannya, Abang Media menyatakan hal tanggungjawab penulis untuk berkarya dengan semangat dan harus berupaya menghasilkan karya yang baik sehingga menembus dinding antarabangsa.\nBagi Anugerah Penulis Genre Puisi dan Anugerah Penulis Genre Esei yang dimenangi oleh Ja\u2019afar bin Haji Hamdan, sajak \u201cBunga yang Menangis\u201d dan \u201cAku Masih Mahu Cinta\u201d dideklamasikan oleh deklamator dengan penuh penghayatan, di samping dendangan seruling yang sayup-sayup. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan buat DBP Cawangan Sarawak kerana usaha sebegini akan meningkatkan kegiatan sastera di bumi kenyalang.\nAnugerah Khas Bahasa dan Sastera dianugerahkan secara posthumous buat Allahyarham Awang Bujang Awang Hamdan, dan isterinya Normah Nazari mewakili beliau sebagai penerima anugerah khas itu.\nTonton tayangan majlis penganugerahan di sini." "Hadiah Nobel: Malaysia Masih Dibelenggu Cemburu dan Prejudis?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nOsman Ayob menyoal kemenangan Abdulrazak Gurnah sebagai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan yang baharu dan merasakan sasterawan tempatan juga layak merangkul hadiah itu.\nNama yang selalu disebut-sebut boleh ditonjolkan untuk hadiah tersebut ialah Sasterawan Negara A. Samad Said. Walau bagaimanapun, sehingga sekarang tiada siapa yang tahu siapa yang mengambil inisiatif menyediakan kertas cadangan bagi pencalonan hadiah tersebut.\nTidak ada sesuatu yang luar biasa apabila Abdulrazak Gurnah dipilih sebagai pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan 2021. Jika ada kelebihan pun, anak kelahiran Zanzibar ini yang pernah menjadi suaka politik dan tinggal di England, sudah bergiat dalam penulisan sejak 35 tahun lalu dengan mengangkat persoalan kolonialisme dan imigran sebagai tema utama dalam 10 buah novelnya yang berlatarbelakangkan Afrika Timur.\nAbdulrazak bukanlah penulis ternama yang disebut-sebut bakal terpilih sebagai pemenang hadiah berprestij dan menawarkan hadiah yang lumayan itu. Novel-novelnya, Paradise, Desertation dan By the Sea bukanlah novel yang menjadi rebutan. Kelebihannya cuma novel yang dihasilkannya ditulis dalam bahasa Inggeris, yang memudahkan pemilihan para Akademi Sweeden.\nDalam hubungan ini, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa hadiah tersebut kuat diselubungi rasa cemburu dan prejudis. Setiap tahun, andaian ini diperkatakan di seluruh anjung dunia. Namun begitu, Akademi Sweeden yang menganjur dan membiayai hadiah ini tidak pernah tersentuh dengan semua tanggapan yang dilontarkan oleh sesiapa sahaja.\nDalam kalangan sasterawan di Asia Tenggara, nama Pramoedya Ananta Toer pernah disebut-sebut sebagai calon yang layak untuk hadiah besar itu. Namun sehingga beliau meninggal dunia, hadiah itu tetap dimiliki oleh calon lain. Sama halnya di Malaysia. Nama yang selalu disebut-sebut boleh ditonjolkan untuk hadiah tersebut ialah Sasterawan Negara A. Samad Said. Walau bagaimanapun, sehingga sekarang tiada siapa yang tahu siapa yang mengambil inisiatif menyediakan kertas cadangan bagi pencalonan hadiah tersebut. Atau, adakah kisah ini hanyalah acahan sahaja tanpa ada langkah konstruktif yang diambil oleh mana-mana pihak atau badan yang berwibawa?\nPerihal A. Samad Said layak dicalonkan telah diakui oleh ramai orang. Novel-novel beliau seperti Salina, Hujan Pagi, Daerah Zeni, Langit Petang, dan Sungai Mengalir Lesu yang telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa asing, sudah teruji keberkesanannya. Cuma yang menjadi persoalan ialah, siapa atau pihak mana yang boleh dan secara sukarela berusaha keras untuk menjadikan hal ini satu realiti?\nDiakui, proses dan penyediaan kertas pencalonan bukanlah satu tugas yang mudah. Kerjanya memerlukan segala butir yang lengkap, bukan sahaja mengenai diri calon, tetapi juga segala aspek termasuk tema, perjuangan dan mesej yang disampaikan dalam karya besarnya. Tugas ini tidak semestinya boleh dikerjakan seorang. Mungkin beberapa orang yang mempunyai komitmen yang tinggi wajar terbabit. Hal ini menagih penyelidikan dan kerja akademik yang memerlukan pengorbanan masa dan ketelusan yang tidak berbelah-bahagi.\nRasanya, inilah cabaran yang sedang kita hadapi sekarang. Realitinya, dunia akademik khususnya sastera sekarang tidak terkecuali dipandang hanya pada labanya. Tidak ada sarjana yang gemar dan bersedia memcambahkan ilmunya secara percuma. Seperti juga bidang lain, dunia sastera juga tidak dapat dipisahkan dengan rasa cemburu dan prasangka. Meskipun \u201ccemburu dan prasangka\u201d mempunyai konotasi yang unik, namun realitinya tetap ada. Oleh sebab itu, dalam sekecil-kecil kegiatan seperti diskusi dan bicara karya, ia terhasil hanya melalui pembiayaan yang wajar dilunaskan. Inilah yang berlaku sekarang, apalagi dalam \u201ckerja berat\u201d seperti penyediaan kertas pencalonan sesuatu anugerah, lebih-lebih lagi untuk Hadiah Nobel Kesusasteraan. Siapa yang mahu berkorban secara sukarela sedangkan perasaan cemburu dan prasangka menguasai diri?\nBerita Berkaitan |\n\u201cDunia Hari ini Lebih Kejam\u201d \u2013 Abdulrazak Gurnah\n\n_________________________\nOsman Ayob sudah menghasilkan lebih 166 cerpen. Beliau juga penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 bagi kumpulan cerpen Bayangan Silam (DBP, 2009). Antara kumpulan cerpennya termasuklah Bayangan Rindu (1981), Musim itu Telah Berlalu (1984), Detik yang Tergugat (1988), Di Pinggir Kesedaran (1993), Melamar Rindu (2001), Perginya Seorang Srikandi (2011), Tembok Masih Tinggi (2014), dan Gila Tak Gila (2017). Selain menulis cerpen, beliau juga menghasilkan lebih 30 buah novel. Novel remajanya, Meniti Impian menjadi teks KOMSAS tingkatan dua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan bagi tahun 2016\u20132020." "Persahabatan bagai Aur dengan Tebing\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nBaru-baru ini, Persatuan Persahabatan Malaysia\u2013China (PPMC) telah menandatangani memorandum persefahaman bersama Universiti Sains Malaysia (USM) di Dewan Budaya USM. YBhg.\u00a0Dato\u2019 Abdul Majid Ahmad Khan, Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia\u2013China dan YBhg.\u00a0Prof. Dato\u2019 Gs. Dr. Narimah Samat, Timbalan Naib Canselor\u00a0(Akademik dan\u00a0Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor,\u00a0telah menyempurnakan majlis menandatangani memorandum persefahaman tersebut yang turut disaksikan oleh \u00a0Profesor Madya Dr. Jasni Sulong, Dekan PPIK USM, \u00a0dan Ts. Haji Abdul Aziz How Abdullah, Penasihat Eksekutif Kanan Persatuan Persahabatan Malaysia\u2013China.\nAntara hasrat utama memorandum persefahaman tersebut termasuklah bekerjasama dalam pelaksanaan aktiviti pertukaran pendidikan dan kebudayaan khasnya\u00a0yang\u00a0melibatkan belia Malaysia dan China. Selain itu juga, kedua-dua pihak akan melihat potensi kerjasama akademik, pembangunan penyelidikan, kerjasama latihan dan pertukaran penerbitan. Hal ini secara langsung mewujudkan satu kerjasama yang progresif bagi meningkatkan hubungan persahabatan Malaysia\u2013China.\nPPMC yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan\u00a0yang telah ditubuhkan pada tahun 1992 ini sentiasa menfokuskan usaha-usaha meningkatkan hubungan baik Malaysia\u2013China yang merentasi aktiviti sosial, budaya, pendidikan, belia, sukan dan aktiviti-aktiviti yang melibatkan kedua-dua buah negara.\nDato\u2019 Abdul Majid menyatakan penghargaannya\u00a0kepada USM yang bersedia menjadi rakan strategik PPMC. Antara aktiviti-aktiviti yang pernah dilaksanakan oleh PPMC sebelum ini termasuklah\u00a0Program Khidmat Bakti dan Sosial belia Malaysia\u2013China, majlis berbuka puasa, permainan bola keranjang, sesi forum dan banyak lagi. Keutamaan ketika ini ialah program-program yang melibatkan belia Malaysia\u2013China.\nBelia merupakan pewaris masa depan\u00a0dan\u00a0amat penting untuk mereka mempunyai asas pemahaman dan semangat persahabatan yang tinggi dalam memastikan kelestarian hubungan bilateral yang terbina sejak\u00a048 tahun yang lepas. Masih terngiang-ngiang di fikiran penulis kata-kata\u00a0seperti\u00a0\u201cNama Malaysia menjadi harum di seluruh dunia dan keharuman ini tidak pernah mencapai ke peringkat tinggi seperti yang ada sekarang,\u201d kata Tun Abdul Razak Hussein,\u00a0sekembalinya dari China.\nSebelum majlis bermula, Dato\u2019 Majid juga telah bertemu dan beramah mesra dengan 32 orang pelajar antarabangsa dari China yang sedang mengikuti Program Pemindahan Kredit Bahasa Melayu (PROPERBM), Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan,\u00a0USM. Perkongsian ilmu dan pengalaman sebagai mantan Duta Besar Malaysia ke China menjadikan sesi ramah mesra tersebut amat bermakna kepada para pelajar berkenaan. Sesi pertemuan dan perbincangan dua hala antara pihak PPMC dan USM juga telah diadakan bagi membincangkan secara terperinci kerjasama lanjut yang bakal diadakan.\nSemasa sesi ramah mesra, para pelajar juga mengambil peluang untuk mempromosikan\u00a0universiti mereka,\u00a0iaitu Universiti Pengajian Asing Sichuan, Universiti Minzu Yunnan dan Universiti Pengajian Asing Guandong. Universiti\u00a0ini merupakan tiga buah universiti daripada 10 buah universiti yang sedang menawarkan Pengajian Bahasa Melayu di China. Seorang daripada pelajar\u00a0tersebut, iaitu Saudari Pi Jiayi atau nama Melayunya,\u00a0Khaira dari Universiti Pengajian Asing Sichuan berkongsi pengalamannya berada di Malaysia. Beliau sangat gembira dapat berada di Malaysia dan mengikuti pengajian di USM. Hal ini memberinya\u00a0peluang untuk lebih mendalami pembelajaran Bahasa Melayu dan memahami kebudayaan Malaysia dengan baik. Khaira juga berhasrat untuk terus menjadi penghubung dan menyampaikan informasi yang baik dari China dan Malaysia bagi menyokong persahabatan Malaysia dan China.\nProgram sebegini sudah pasti mendapat sokongan dan kerjasama yang baik \u00a0daripada\u00a0Kementerian Luar Negeri Malaysia dan China.\u00a0Tidak ketinggalan juga Dewan Bahasa dan Pustaka, Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan\u00a0(PADU),\u00a0Kementerian Pendidikan Malaysia\u00a0dan Bahagian Education Malaysia, Jabatan Pendidikan Tinggi turut terlibat dalam\u00a0menyumbang buku dan cenderamata kepada para pelajar yang mengikuti program PROPERBM. Mereka sudah pastinya bertindak sebagai duta kecil Malaysia\u2013China bagi memastikan adanya kerjasama bersepadu dalam menggerakkan agenda diplomasi pendidikan antara kedua-dua buah negara.\nSelain itu, kita dapat melihat kesungguhan\u00a0dan komitmen yang tinggi daripada Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan,\u00a0USM dalam menggerakkan program PROPERBM. Usaha ini perlu dipuji dan diharapkan lebih banyak institusi pendidikan tinggi di Malaysia tampil untuk bekerjasama dan melaksanakan agenda pengantarabangsaan bahasa Melayu khasnya di China.\nProgram PROPERBM ini turut memberikan\u00a0peluang kepada\u00a0para pelajar mengikuti program ini selama setahun dan memenuhi keperluan politik, ekonomi dan sosial semasa serta lebih berdaya saing sekali gus melengkapkan penyelidik dengan pelbagai kecekapan dan kemahiran dunia Melayu.\nPenulis bersama dengan para tetamu yang hadir juga sangat teruja dengan kesungguhan para pelajar ini yang baru\u00a0sahaja dua tahun mengikuti Pengajian Bahasa Melayu di China namun dapat berucap dan menyampaikan mesej dalam bahasa Melayu dengan baik sekali. Semangat seperti ini akan terus dibugarkan dengan sokongan dan kerjasama daripada semua pihak.\nKesempatan dalam majlis tersebut juga\u00a0membolehkan\u00a0penulis mendengar sesi Syarahan Perdana Bahasa Melayu yang bertajuk \u201cKelestarian Bahasa Melayu dalam Pengurusan Perniagaan: Membugar Paradigma\u201d,\u00a0yang dibentangkan oleh Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2021, Profesor Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul. Beliau berkongsi maklumat tentang peranan bahasa Melayu, cabaran memartabatkan bahasa Melayu, kelestarian bahasa Melayu dalam pengurusan dan peribahasa Melayu melayari zaman. Beliau juga menyimpulkan bahawa bahasa Melayu merupakan khazanah\u00a0yang\u00a0bernilai tinggi yang perlu diperkasakan\u00a0setiap warga kerana bahasa Melayu bukan\u00a0hanya\u00a0milik orang Melayu, bahkan\u00a0milik semua.\nPenulis juga yakin dan terus mendambakan usaha yang berterusan daripada semua pihak dan hal ini diterjemahkan melalui bait-bait puisi\u00a0yang berikut:\nPercayalah\nbahasa jiwa bangsa\nmembina peradaban dunia\ndengan semangat kita yang sama.\n\u00a0\nTiada indah selain bahasa\nuntuk mengenali sesama kita\nandai esok kita terlupa\nkembalilah kita pada yang nyata.\n\u00a0\nHakikat kita tidak berpura\nuntuk menyelami indahnya\nbahasa pengikat jiwa dan raga\nmenjadi tunjang keamanan dunia.\nPepatah Melayu yang berbunyi,\u00a0\u201cBagai aur dengan tebing\u201d menjadi asas bagi kerjasama ini untuk terus mengorak langkah memperkukuh persahabatan dan menelurusi masa depan yang gemilang antara Malaysia dan China.\n\u00a0\nTs. Haji Abdul Aziz How Abdullah, \nPenasihat Eksekutif Kanan, Persatuan Persahabatan Malaysia\u2013China" "Program Sua Bitara DBP Cawangan Sarawak di Miri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMiri \u2013 Pada 21 Oktober 2021, Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPSAR) mengadakan Kolokium 40 Tahun PUTERA dan Majlis Pelancaran Buku Penulis PUTERA.\nKolokium ini berlangsung di Hotel Mega, Miri dan dirasmikan oleh YBrs. Dr. Hazami Jahari, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia. Turut hadir sebagai tetamu undangan ialah YBrs. Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBPSAR.\nAntara pengisian acara ialah pembentangan oleh ahli panel yang terdiri daripada Tuan Haji Jeli Bohari Biha, Encik William Chan, Encik Zainal Abidin Suhaili, Encik Abang Median Abang Said dan Encik Poul Nanggang.\nDalam majlis ini turut diadakan majlis pelancaran 10 buah buku ahli PUTERA, iaitu:\nManakala sehari sebelumnya, iaitu pada 20 Oktober 2021 bersempena dengan Program Sua Bitara, DBPSAR turut menganjurkan Wacana Pemikiran Sasterawan Negeri Sarawak 2021 di Hotel Imperial, Miri. Sepanjang penganjurannya sejak tahun 1994, negeri Sarawak telah melahirkan lima orang Sasterawan Negeri Sarawak (SNS). Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri Sarawak telah menganugerahkan Encik Zainal Abidin Suhaili sebagai Sasterawan Negeri Sarawak yang ke-5 dalam Majlis Penyampaian Anugerah Sastera Negeri Sarawak ke-10. Oleh itu, rakaman dan catatan sebegini perlu diabadikan dalam konteks kewajaran beliau yang berada pada kedudukan tersebut sebagai satu kajian, rujukan dan pembuktian kewibawaannya sebagai Sasterawan Negeri Sarawak ke-5.\nWacana dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBPSAR dalam majlis yang dirasmikan oleh Yang Berusaha Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka pada sebelah paginya, dan disusuli dengan pelancaran dua\u00a0 buah buku hasil nukilan Abizai, iaitu Kumpulan Sajak \u201cMemandang Cangkerang\u201d dan Kumpulan Esei Kritikan \u201cAlam Hakiki dalam Puisi Penyair Sarawak\u201d.\nSelepas upacara perasmian, majlis diteruskan dengan ucap utama yang disampaikan oleh Encik Zainal Abidin Suhaili. Kemudian, disusuli dengan sesi pembentangan kertas dasar oleh Dr. Jeniri Amir dan Dr. Hazami Jahari selaku panel penilai Anugerah Sastera Negeri Sarawak ke-10.\nManakala pada sebelah petangnya diteruskan dengan pembentangan kertas kerja yang disampaikan oleh Encik Abang Median Abang Said, Encik Poul Nanggang dan Encik Dilah Tuah. Majlis turut dihadiri oleh 100 orang peserta wacana yang terdiri daripada para karyawan, ahli persatuan penulis, kakitangan jabatan kerajaan dan swasta.\nPada pukul 11.00 pagi turut diadakan kunjungan hormat Pengarah DBPSAR bertemu Encik Razak Haji Rambili, Pengurus Wilayah Pustaka Negeri Sarawak Miri. Antara agenda yang dibincangkan dalam kunjungan hormat kali ini ialah kerjasama dalam penulisan, penyelidikan dan penerbitan bahan-bahan yang berkaitan dengan kearifan tempatan negeri Sarawak khususnya di Miri.\nDewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak dan Pustaka Negeri Sarawak Miri juga bakal menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam usaha memperkasakan kearifan tempatan negeri Sarawak di Miri.\nPada pukul 2.00 petang pula, turut berlangsung Majlis Penyerahan Piala Pusingan Pertandingan Forum Pelajar Peringkat Negeri Sarawak dan Peringkat Kebangsaan 2021 kepada Sekolah Menengah Jalan Riam selaku Johan peringkat negeri Sarawak dan Kebangsaan. Majlis ini telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi. Piala pusingan Forum Peringkat Negeri Sarawak telah disampaikan oleh YBrs. Encik Abang Haliman Haji Abang Julai. Manakala Piala Forum Pelajar Peringkat Kebangsaan telah disampaikan oleh YBrs. Dr. Haji Abang Padeli Abang Muhi. Majlis ini turut dihadiri oleh Dr. Pauline Ho, Ketua Pegawai Ekskutif, Encik Richard Liu, Penolong Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Hii Nai Ching, Pengetua Sekolah Menengah Jalan Riam, Miri." "Jiwa Sufi dalam Karya Abizai Menonjol\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMiri \u2013 Sejumlah pengkritik dan penggiat sastera membentangkan kajian mereka terhadap karya Zainal Abidin Suhaili, atau lebih dikenali sebagai Abizai dalam sebuah wacana khas anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak. Wacana Pemikiran Sasterawan Negeri Sarawak 2021 ini diadakan pada 20 Oktober 2021 (Rabu), khusus bagi mengangkat dan membicarakan pemikiran dan jiwa kepengarangan, serta analisis terhadap hasil karya pemenang Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak, Abizai. Majlis tersebut diadakan di Hotel Imperial, Miri, Sarawak.\nAntara pembentang ialah Abang Median Abang Said, penulis dan Guru Kanan Bahasa di SMK Marudi, Baram, Sarawak. Berlatarbelakangkan pendidikan perguruan dan psikologi kanak-kanak, beliau yang sering menerima hadiah sastera baru saja menerima Anugerah Sastera Negeri Sarawak dalam kategori Genre Cerpen dan Genre Novel Julai lalu.\nAbang Median membentangkan kajian khusus yang menyelam bentuk sufistik dalam penulisan Abizai, dengan tajuk kertas kerja \u201cMerenangi Sungai Sufistik dalam Merdeka Burung\u201d. Merdeka Burung\u00a0ialah buku kumpulan puisi Abizai yang mengetengahkan unsur kerohanian dan ketuhanan.\nSebuah kenyataan Abizai berbunyi, \u201cPenyair harus berani bercinta,\u201d dicuplik oleh Abang Median, konotasi yang boleh ditafsirkan dalam pelbagai pentafsiran. Dalam peringkat awal kepengarangan Abizai, kenyataan ini boleh dimaksudkan sebagai percintaan sesama manusia. Namun begitu, apabila melihat karya-karya beliau hari ini, konotasinya boleh juga ditafsir kepada perspektif percintaan kepada Tuhan.\nAbizai juga cukup kental memasukkan unsur simbol dalam karya-karyanya. Menerusi karyanya seperti \u201cMenyediakan Sayap Dalam Senyap\u201d, \u201cMerdeka Burung\u201d, \u201cPuisi Bersayap\u201d, \u201cMengalah dengan Cinta\u201d, dan \u201cRindu Pungguk\u201d, penyair ini menyerlahkan penggunaan simbol secara jelas, bobot, malah malar namun berimpak.\nKarya sastera sufistik mempunyai perbezaan yang besar dan eksklusif daripada karya sastera keagamaan yang biasa. \u2018Sufi\u2019 mungkin berasal daripada perkataan Yunani, iaitu \u2018sophia\u2019 yang bermaksud \u201ckebijaksanaan\u201d. Peristilahan menurut agama yang lebih tepat daripada Syeikh Junaid al-Baghdadi, \u2018sufi\u2019 merujuk \u201cpembersihan hati\u201d. Apabila dikaitkan dengan sastera sufistik, hal ini selaras dengan makna sufi dalam gagasan sastera yang mengajak manusia ke arah nilai keinsanan, iaitu \u201camar makruf\u201d sebagai inisiatif manusiawi, dan \u201cnahi mungkar\u201d sebagai pembebasan manusia daripada belenggu bahaya dunia.\n\u201cTerdapat banyak diksi dan bentuk perlambangan yang sering kali muncul dalam karya Abizai, sehingga muncul suara yang tipikal dalam karya beliau,\u201d tambah Abang Median. Simbol-simbol seperti \u2018buah\u2019, \u2018kelawar\u2019, \u2018burung\u2019, \u2018matahari\u2019, \u2018laut\u2019, dan \u2018perahu\u2019 merupakan antara simbol yang terdapat dalam Merdeka Burung.\nDalam sajak \u201cMenyediakan Sayap Dalam Senyap\u201d, Abizai mengangkat martabat ilmu dan agama dalam manusia, dan menggunakan \u2018gua\u2019 sebagai lambang kegelapan yang akan menghuni hati manusia yang tanpa ilmu dan juga agama. \u2018Cahaya\u2019 juga biasa digunakan sebagai simbol harapan, kesedaran dan juga ilmu menerusi karya beliau.\nSesuai dengan kedudukannya kini sebagai Sasterawan Negeri Sarawak, selain penerima SEA Write Award, karya Abizai juga wajar dibaca dengan penghayatan dan kajian yang mendalam, kerana gaya kepengarangannya hari ini semakin menonjolkan kelainan dan keterampilan yang tersendiri. Malah, sudah menjadi tanggungjawab pihak penerbitan untuk memeriahkan lagi penerbitan buku-buku lamanya, kerana sebahagian besar daripada karya-karya beliau tidak lagi berada di pasaran, menurut Dr. Jeniri Amir menerusi wacana ini.\nDua buah judul karya Abizai, Memandang Cangkerang dan Alam Hakiki dalam Puisi Penyair Sarawak terbitan DBP dilancarkan oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasan dan Sastera DBP, Yang Berbahagai Dr. Abang Patdeli Abang Muhi pada majlis perasmian wacana itu.\nTonton Majlis Perasmian Wacana Pemikiran Sasterawan Negeri Sarawak 2021 di sini. Baca kertas kerja wacana di sini.\nBerita Berkaitan |\nAbizai Sasterawan Negeri Sarawak ke-5 dalam Majlis Penyampaian Maya Gilang-gemilang" "\u201cZa\u2019ba sebagai Pemikir Bitara pada Zamannya hingga Kini\u201d \u2013 Awang Sariyan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nWajah kepengarangan Za\u2019ba yang dirakam oleh sejarah memaparkan gagasan ilmu sebagai tonggak perjuangannya. Selain sebagai tokoh bahasa yang tidak dinafikan, beliau juga mengangkat perjuangan mengaji pelbagai ilmu demi kemajuan anak bangsa.\nTulisan-tulisan beliau di samping mengharmonikan, turut juga menggugah pemikiran masyarakat, malah mencetuskan wacana sekali gus membentuk pemikiran bangsa. Perbahasan ini dibincangkan pada segmen keempat, Sekolah Pemikiran Pendeta Za\u2019ba: Kegiatan Kepengarangan yang dibentangkan oleh Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka.\nPendeta bahasa dan pakar bahasa, antara nama yang dijulukkan kepada Pendeta Za\u2019ba kerana beliau mempunyai pemikiran terkehadapan dalam bidang perancangan bahasa. Prof. Harimurti Kridalaksana, sarjana linguistik di Indonesia pula menobati beliau sebagai Bapa Tatabahasa Melayu di Malaysia.\n\u201cZa\u2019ba lebih terkenal dalam sumbangannya terhadap perancangan korpus bahasa yang mengangkat bahasa Melayu, namun beliau juga banyak menyumbang perkembangan dalam bidang retorik Melayu, khususnya pembentukan linguistik bahasa,\u201d ujar Awang Sariyan. Menerusi seminar ini, Awang Sriwan menyatakan Za\u2019ba melopor ilmu ini serta membuka perbahasan sosiolinguistik Melayu melalui buku Ilmu Mengarang Melayu.\nBuku Pelita Bahasa Melayu\u00a0pula diangkat oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai \u201cpelita yang sebenar-benarnya dalam menerangi jalan bahasa Melayu baharu\u201d.\nAwang Sariyan turut mengambil peluang daripada acara ini untuk mengangkat perbahasan pemikiran Za\u2019ba dalam bidang sosioekonomi dan pendidikan.\nZa\u2019ba menyuarakan pemikiran dan perjuangan sosioekonomi orang Melayu, seperti yang dipaparkan dalam \u201cThe Saviour of the Malays\u201d dan \u201cThe Poverty of the Malays\u201d. Menurut Awang Sariyan lagi, Za\u2019ba juga menyumbang kepakaran dalam menyediakan bahan-bahan profesional dan kertas kerja untuk penubuhan Tabung Haji, sebuah agensi yang mempunyai peranan khas dalam urusan kewangan orang Islam menunaikan Haji.\nBanyak tulisan Za\u2019ba yang mengungkapkan peri pentingnya pendidikan sebagai teras kemajuan orang Melayu. Tokoh bahasa ini menegaskan bahawa pelajaran boleh membetulkan kekurangan-kekurangan dalam skop kebangsaan sesuatu kaum, berperanan mengubah dan membaiki pemikiran individu yang membentuk masyarakat.\nZa\u2019ba juga membuka gagasan kesepaduan ilmu dalam pendidikan sejak tahun 1917 lagi, bermula dengan perancangan untuk membangunkan sekolah besar di negeri-negeri dalam negara, yang menghimpunkan segala jenis pelajaran dunia dan akhirat, melalui akhbar Utusan Melayu, 10 Mei 1917.\nCuplikan daripada petikan berkaitan merupakan penjelasan sambungan Za\u2019ba berkenaan ilmu-ilmu tersebut:\nMaka yang dikatakan cawangan-cawangan kepandaian itu termasuklah seperti ilmu bahasa-bahasa, ilmu kitab-kitab, ilmu karang-mengarang, ilmu tawarikh, ilmu falak, ilmu siasat kejadian, ilmu-ilmu falsafah, ilmu agama dan sebagainya dan pada cawangan pertukangan itu adalah seperti ilmu engineer, ukur-mengukur dan sukat menyukat, ilmu elektrik . pada cawangan perusahaan itu termasuklah ilmu perniagaan, ilmu hasil mahsul dan siasat kekayaan, ilmu berkebun dan bercucuk tanam .\nGagasan itu muncul semula lima dekad kemudian yang diintegrasikan kepada bentuk-bentuk baharu dalam polisi pendidikan negara, seperti pengislaman ilmu, kesepaduan ilmu dan kurikulum bersepadu.\nAwang Sariyan menegaskan bahawa, fikiran sebegini yang ditonjolkan oleh Za\u2019ba pada zamannya adalah hal yang mencetuskan pemikiran progresif bangsa, membuktikan beliau sebagai pemikir bitara (tiada tara) pada zamannya, malah hingga kini.\nBeliau menegaskan lagi bahawa, soal budaya, sastera, lingusitik dan falsafah tidak boleh diabaikan dalam ranah pendidikan negara.\n\u201cPenumpuan yang agak melampau kepada bidang tertentu dalam kalangan ahli ilmu sehingga mengabaikan perhatian kepada bidang-bidang lain, malah membentuk dikotomi jelas antara kemanusiaan dengan bidang lain, kini menjadi krisis dalam masyarakat moden,\u201d tambah beliau." "Ibnu Zulkarnain, Juara Pertandingan Dendang Syair Antarabangsa ke-4 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSeremban \u2013 \u201cSiapa yang memenangi Pertandingan Dendang Syair Antarabangsa, bererti mereka memenanginya di peringkat dunia,\u201d ujar Dato\u2019 ND Lala selaku juri pertandingan.\nIbnu Zulkarnain dari Pekanbaru, Indonesia bertuah kerana dinobat sebagai Johan dalam Pertandingan Dendang Syair Antarabangsa ke-4, dengan membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM5000, rantai emas bernilai RM4000, selimpang, dan sijil penyertaan. Pertandingan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia serta Persatuan Bitara Syair Melayu Nusantara itu diadakan secara langsung dan hibrid di Auditorium D\u2019Suri Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan pada 23 Oktober jam 8.30 malam.\nNaib Johan pertandingan disandang oleh Sabihah Abdul Wahid dari Kuala Lumpur, Malaysia. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2500, gelang emas bernilai RM1000 berserta selempang dan sijil penyertaan.\nManakala Anisa Cahya Ningrum dari Siak, Indonesia pula memenangi tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1000, sebentuk cincin emas bernilai RM500 serta selempang dan sijil penyertaan. Hadiah berupa emas yang diberikan kepada para peserta merupakan tajaan Makmur Gold.\nSelain itu, sembilan orang peserta yang lain turut menerima hadiah sagu hati berupa wang tunai berjumlah RM500, jongkong emas bernilai RM300, selempang serta sijil penyertaan. Dua belas orang peserta akhir ini telah berentap daripada peringkat awal, yang pada asalnya menampilkan 74 orang peserta yang berentap pada suku akhir dan separuh akhir pertandingan dari lima buah negara serumpun.\nTiga orang juri profesional telah dilantik bagi mengadili para peserta dalam pertandingan pada tahun ini, iaitu Dato\u2019 ND Lala, Dr. Shafa\u2019atussara Silahudin dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, dan Encik Rosnan Nordin dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. Memetik ulasan juri yang disampaikan oleh Dato\u2019 ND Lala, \u201cpenjurian ini berfokus pada vokal, syair itu sendiri dan persembahan. Kecekapan teknikal bukanlah asas kepada pemilihan pemenang meskipun ia diadakan secara hibrid dan hantaran video.\u201d\nDr. Shafa\u2019atussara Silahudin selaku pendendang syair profesional di Malaysia, lulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pengajian Melayu dari Universiti Leiden, Belanda, turut menerima Anugerah Bitara Syair 2021. Anugerah tersebut mula diadakan pada tahun 2019 bersempena Program Setanggi Antarabangsa yang diadakan di Auditorium JKKN Kuantan, Pahang. Anugerah tersebut diberikan kepada individu yang berwibawa dalam bidang syair secara teori dan praktikal. Pemilihan berdasarkan pengalaman dan pencapaian individu secara berterusan melestarikan syair.\nPertandingan Bitara Syair Antarabangsa ini konsisten dijalankan sejak tahun 2018, bermula di Tanjung Pinang, Indonesia. Ucapan penutup Pertandingan Dendang Syair Antarabangsa kali ke-4 telah disampaikan oleh Ybhg. Tuan Haji Mesran bin Mohd Yusof, Ketua Pengarah JKKN.\nPertandingan ini boleh ditonton secara langsung di laman rasmi Facebook JKKN, DBP, Makmur Gold Offical, Roslan Madun Rasmi, dan pelantar YouTube DBP Malaysia.\nTonton Pertandingan Dendang Syair Antarabangsa ke-4 Peringkat Akhir di sini." "Sudut Sasterawan D Universiti: Sanggar Kreatif buat Mahasiswa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDr. Norshah Aizat Shuaib dan Mazmin Mat Akhir menampilkan sudut khas Sasterawan Negara di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk menjambatani sains dengan kemanusiaan.\nKetidakseimbangan antara sains dengan kemanusiaan merupakan suatu penghalang besar ke arah pemupukan nilai insaniah dalam diri seseorang pelajar.\nFalsafah Pendidikan Kebangsaan bertujuan membentuk manusia yang seimbang dan harmonis dari semua aspek kemanusiaan. Aspek kemanusiaan tersebut adalah dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, serta berpandukan kepercayaan kepada Tuhan dan bersahsiah terpuji. Keseimbangan kesemua aspek ini mustahak bagi pembangunan sahsiah pelajar yang menyeluruh. Pembangunan holistik ini merupakan suatu teras dalam reka bentuk kurikulum dari peringkat sekolah hinggalah ke universiti.\nSeorang sarjana British, C.P. Snow dalam The Two Cultures menegaskan pemisahan antara sains dengan kemanusiaan merupakan antara penyebab masalah-masalah global sukar diselesaikan. Ketidakseimbangan antara sains dengan kemanusiaan merupakan suatu penghalang besar ke arah pemupukan nilai insaniah dalam diri seseorang pelajar. Pendidikan tidak seharusnya terlalu tertumpu ke arah suatu bidang semata-mata. Pengkhususan yang terlalu mendalam menyebabkan pelajar tidak cuba untuk menerokai bahagian-bahagian ilmu di luar bidang. Contohnya, pelajar bidang kejuruteraan tidak mengambil endah tentang ilmu kemanusiaan, seperti cara berkomunikasi dan pemahaman tentang emosi. Pelajar ini akan mampu menterjemah teori kompleks kepada sesuatu aplikasi teknologi yang canggih untuk kebaikan manusia, namun dia tidak mampu untuk menjadi seorang manusia yang seimbang, seperti yang diharapkan dalam Falsafah Pendidikan Negara.\nLangkah memperkenalkan Sasterawan Negara di universiti awam merupakan satu inisiatif awal bagi menyuburkan cinta kepada sastera tempatan dalam kalangan mahasiswa universiti. Karya serta pemikiran para Sasterawan Negara dapat diperkenalkan melalui pelbagai pelantar dan pendekatan. Saat negara bergerak pantas dengan Revolusi Perindustrian 4.0 dan perkembangan teknologi, pemerkasaan karya sastera dalam membentuk keperibadian pelajar merupakan suatu keperluan. Karya sastera mampu berfungsi dengan baik sebagai wadah yang melahirkan generasi mahasiswa yang unggul.\nUsaha ini dapat meningkatkan penghayatan warga pendidikan tinggi terhadap karya sastera tanah air dan nilai murni yang terkandung di dalamnya. Melalui cara ini, karya-karya nukilan Sasterawan Negara akan dibaca, dihayati dan seterusnya dibincangkan dalam wacana ilmu peringkat universiti.\nDalam usaha memahami makna tersirat puisi-puisi Zurinah Hassan membolehkan pelajar melatih pemikiran untuk menjadi lebih kritis.\nSebagai sebuah universti berasaskan bidang kejuruteraan, pendedahan tentang karya kesusasteraan kepada golongan pelajar adalah terhad di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Pengenalan terhadap karya-karya ini akan mampu memupuk kemahiran insaniah dalam diri pelajar, selari dengan misi dan visi UniMAP untuk melahirkan graduan holistik yang mampu menyumbang kepada daya saing industri negara.\nDalam usaha mendekatkan khalayak pelajar dengan golongan sasterawan, pihak pengurusan UniMAP telah melantik Sasterawan Negara yang ke-13, iaitu Dato\u2019 Dr. Zurinah Hassan sebagai profesor adjung, berkuat kuasa pada Sidang Akademik 2019/2020. Sebagai profesor adjung, beliau berpeluang menyumbangkan kepakaran kepada universiti melalui syarahan umum, pengajaran dan sebagainya. Pelantikan ini diharapkan mampu untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar tentang pedoman hidup yang dikongsikan oleh golongan sasterawan melalui karya-karya seni.\nSalah satu inisiatif UniMAP dalam mendekatkan kepengarangan Zurinah Hassan dengan pelajar adalah dengan mewujudkan sudut khas mempamerkan karya-karya nukilannya. Perasmian sudut yang diberi nama Pameran Sasterawan D Universiti ini telah disempurnakan oleh Canselor UniMAP, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 29 Oktober 2019. Sudut ini terletak di ruang Koleksi Khas berhadapan dengan auditorium di Aras 2 Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP), Kampus Alam Pauh Putra. Sudut ini juga dilengkapi dengan ruang membaca kondusif atau Nook Space. Sudut ini bakal menjadi tempat berlangsungnya aktiviti-aktiviti berunsurkan kreatif dan intelektual, contohnya jelajah sasterawan, bedah buku, sesi deklamasi sajak, dan pertandingan berteraskan kreativiti dan kesusasteraan.\n\nKonsep reka bentuk dan hiasan dalaman telah diusahakan oleh warga kerja PTSFP. Sudut ini menempatkan perabot santai, iaitu sofa dan mempunyai reka bentuk ruang dalaman sebuah rumah. Elemen tradisional diwujudkan melalui perabot-perabot lama, seperti almari kayu dan gerobok makanan yang menggambarkan suasana rumah orang Melayu. Sebuah rak buku diletakkan di tengah sudut, menempatkan karya Zurinah Hassan yang dicetak semula dalam format majalah. Sudut ini akan terus diperkaya dengan hasil penulisan Zurinah Hassan agar menjadi pusat rujukan karya Sasterawan Negara ini.\nPuisi-puisi Zurinah Hassan juga telah diterjemahkan ke dalam bentuk lukisan oleh barisan pelukis Persatuan Pelukis Perlis. Antara pelukis tersohor Perlis yang terlibat termasuk Yaakob bin Abdul Aziz dan Mansor bin Mahmud (sekadar menyebut beberapa nama). Pendekatan ini diambil oleh PTSFP bagi membantu pelajar bidang kejuruteraan menghayati karya Sasterawan Negara melalui persembahan grafik dan lukisan. Kedua-dua bentuk karya ini (puisi dan lukisan) mempunyai persamaan dalam mencabar minda pelajar untuk menghayati, menterjemah dan menghubungkan dengan pengalaman serta pengetahuan mereka.\nPada 12 April 2020, Sudut Sasterawan Negara ini dikembangkan kepada Sudut Zurinah Hassan dengan reka bentuk ruang yang lebih kontemporari. Hal ini bagi meningkatkan daya tarikan sudut ini kepada golongan milenia. Ternyata, ruang ini telah dijadikan topik atau plot penceritaan dalam video kreatif yang dihasilkan sebagai tugasan ilmiah pelajar.\nPara pelajar boleh merehatkan minda dengan menghayati karya-karya yang dipamerkan. Hal ini mampu mencetuskan minat dalam diri pelajar untuk mendampingi karya sastera Melayu. Menurut pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik, Nor Aisyah Mohd Nor, pameran ini memberikan inspirasi buat penulis baharu sepertinya yang menjadikan Zurinah Hassan sebagai idola dalam penulisan puisi. Nor Aisyah yang juga merupakan presiden Kelab Seni Penulisan Kreatif UniMAP (KESPEK) juga berpendapat pewujudan ruang sebegini di sebuah universiti teknikal seperti UniMAP memberi perlambangan bahawa sastera dan kejuruteraan boleh berhubung kait.\nKarya sastera mengandungi makna-makna tersurat dan tersirat. Daya fikir aras tinggi pelajar diperlukan bagi memahami lapisan makna tersirat atau tersembunyi yang disematkan oleh pengarang. Hal ini memerlukan pelajar untuk berfikir sejenak, membaca semula serta membuat sedikit analisa terhadap teks bagi benar-benar merungkai makna yang berselindung dalam puisi Zurinah Hassan.\nSalah satu puisi Zurinah Hassan yang memberikan makna yang mendalam ialah puisi berjudul \u201cPasir\u201d. Puisi ini telah dimuatkan dalam kumpulan puisi Cerita Dalam Cerita, terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia:\naku tidak pernah mempedulikan |\njutaan pasir di pantai itu\nsehingga sebutir yang amat kecil masuk ke sepatu\nuntuk memberitahu\ndia lebih besar dariku\nRangkap puisi ini jika dibaca secara tersurat, pelajar hanya memahami perihal sebutir pasir kecil yang masuk ke dalam sepatu seseorang. Melihat dari sudut lain, pengarang menggunakan analogi pasir untuk mewakili perkara remeh yang tidak pernah dipedulikan selama ini akan bertukar menjadi sesuatu yang besar apabila berada pada tempat-tempat tertentu. Analogi ini kelihatan ringkas dan bersahaja namun sarat dengan seribu pesanan juga nasihat.\nPuisi lain yang dipamerkan untuk tatapan pengunjung PTSFP berjudul \u201cPerpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra\u201d. Memetik salah satu perenggan puisi ini:\nDi taman ilmu ini\nCarilah warna peribadi\ndengan yakin diri\nAkan merendang pohon bakti\nberbuah akal budi\nPuisi ini menjelaskan fungsi PTSFP sebagai gedung ilmu yang harus dimanfaatkan oleh pelajar UniMAP. Zurinah Hassan memberi pesanan tentang keperluan untuk menjejaki nilai keperibadian seseorang. Dengan keperibadian tersebut, bakti seseorang akan mampu ditabur berasaskan kebudian dan sifat rendah diri. Puisi yang dilihat begitu bersahaja ini secara tidak sedar telah memberi pesanan buat para mahasiswa melalui diksi yang tersusun rapi.\nDalam usaha memahami makna tersirat puisi-puisi Zurinah Hassan membolehkan pelajar melatih pemikiran untuk menjadi lebih kritis. Pelajar akan menyedari bahawa sesuatu hal boleh dirungkai dalam keadaan berbeza apabila ditafsir mengikut sudut pandang yang tertentu. Hal ini boleh memupuk sikap kritis dalam diri pelajar. Nilai intelek dalam puisi-puisi ini mampu membawa pelajar untuk menelusuri pelbagai aspek kehidupan, contohnya perihal kemasyarakatan, kekeluargaan, emosi peribadi dan isu-isu global.\nLukisan-lukisan yang menghiasi sudut dinding memberikan peluang buat para pelajar menghayati makna puisi dalam bentuk visual. Inisiatif ini membolehkan pelajar membandingkan visual yang dihasilkan oleh pelukis dengan visual yang dibayangkan sendiri. Melalui cara ini, pelajar boleh memahami bahawa karya seni merupakan sesuatu yang sangat subjektif dan bergantung pada tafsiran serta penilaian setiap individu.\nPewujudan sudut khas Sasterawan D Universiti dilihat mampu dijadikan sebagai wadah pendedahan karya sastera kepada golongan mahasiswa. Inisiatif kecil pihak UniMAP ini diharapkan mampu menjadikan kesusasteraan sebagai alat pendidikan yang berkesan dalam melahirkan graduan bidang teknikal yang mampu meraikan kepelbagaian dan perbezaan dalam setiap sisi kehidupan.\nUsaha-usaha seumpama ini harus terus dipergiat di institut pengajian tinggi seluruh negara. Perbincangan ilmiah seputar pemikiran pengarang mapan seperti golongan Sasterawan Negara dan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara atau lebih dikenali sebagai SEA Write Awards mampu mendekatkan karya sastera dengan diri mahasiswa. Ikon-ikon dunia sastera tanah air perlu terus diangkat dan dijadikan idola. Dengan cara ini, fungsi karya sastera dalam memupuk insan seimbang yang mampu berfikiran kritis, mempunyai nilai empati yang tinggi, berpengetahuan dan bersemangat cintakan negara akan mampu direalisasikan. Pendekatan turut diharapkan berupaya menjana mahasiswa yang berilmu tinggi, memahami falsafah dan nilai murni yang tersirat dalam khazanah sastera negara.\n_________________________\nNorshah Aizat Shuaib (Dr.) atau nama penanya, Shahkang merupakan seorang pensyarah kanan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Beliau merupakan Ketua Satu untuk Angkatan Sasterawan Indera (AKSARA) Perlis. Banyak menerbitkan karya kreatif terutamanya dalam genre cerpen di akhbar dan majalah. Antara buku perseorangan yang pernah dihasilkannya ialah kumpulan cerpen Soya Ais Peneram Madu (ITBM, 2012), catatan kembara I\u2019m a Backpacker: United Kingdom (PTS, 2017) dan catatan satira Kucing-Kucing Hota Hai (Kata-Pilar, 2017). Antara hadiah yang pernah dimenanginya termasuklah Hadiah Sastera Selangor 2018, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2012 dan 2017, serta Hadiah Sastera Berunsur Islam. Beliau pernah menjadi peserta Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) 2018 untuk kategori cerpen. \nMazmin Mat Akhir merupakan Ketua Pustakawan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sejak tahun 2015. Beliau merupakan graduan bidang Pembangunan Manusia dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pengurusan Perpustakaan dan Maklumat dari Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau pernah bertugas di UPM dan Universiti Utara Malaysia (UUM) sebelum bertugas di UniMAP. Beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perpustakaan Akademik, Persatuan Pustakawan Malaysia dan ahli Cambridge Asian Library Advisory Board (CALAB). Beliau telah bekerjasama dengan ahli akademik dan pentadbir universiti untuk menghasilkan beberapa buah buku dan makalah, termasuk Pengurusan dan Penawaran Sumber Maklumat Elektronik (Penerbit UniMAP, 2010), Perjuangan Belum Selesai Tun Dr Mahathir dalam Arena Pengajian Tinggi Negara (Penerbit UniMAP, 2010), Keusahawanan: Koleksi Petikan Ucapan dan Ungkapan Dato\u2019 Seri Mohamed Khaled Nordin (Penerbit UniMAP, 2012), dan Kegemilangan dalam Kesederhanaan: Dato\u2019 Sri Mustapa Mohamed (Penerbit UniMAP, 2014)." "\u201cNipiskan Emosi, Tebalkan Pemikiran\u201c \u2013 Lim Swee Tin\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cNipiskan emosi tapi tebalkan elemen intelektual apabila kita berkarya yang khusus mengangkat tema bahasa,\u201d pesan Dr. Lim Swee Tin semasa bersiaran dalam program Apresiasi Puisi bersempena Bulan Bahasa Kebangsaan pada 23 Oktober lalu.\nAlumni Bengkel Puisi Merdeka menganjurkan program Apresiasi Puisi bersempena Bulan Bahasa Kebangsaan secara dalam talian pada hari Sabtu, 23 Oktober 2021, jam 9.00 malam. Acara ini dipancarkan secara langsung melalui Facebook Alumni \u2013 Bengkel Puisi Merdeka bersama-sama Dr. Lim Swee Tin.\nDr. Lim Swee Tin memberikan taklimat berkaitan karyawan yang menulis tentang tema bahasa dalam karya mereka. Dr. Lim menasihatkan para penonton apabila berkarya, suntikan elemen intelektual penting dan diperlukan oleh generasi kita, terutamanya generasi baharu yang bergelumang dengan pelbagai bentuk ilmu, bahkan mereka sudah jauh pergi merayau ke serata penjuru benua dan pelosok dunia. Oleh yang demikian, generasi ini menuntut karya yang lebih besar dan bersifat intelektual daripada penulis.\n\u201cHasilkan pandangan dan idea yang baharu dan terkehadapan, agar generasi muda berminat. Ketika menulis, penulis perlu keluar dari kepompong peribadi. Jangan menulis tentang aku,\u201d kata Dr. Lim Swee Tin.\nProgram Apresiasi Puisi kali ini merupakan kali kedua dianjurkan oleh Alumni Bengkel Puisi Merdeka. Dimulakan pada bulan September bersempena Bulan Kebangsaan atas kesedaran dan semangat bagi memartabatkan seni puisi dalam kalangan khalayak umum, di samping melestarikan pembelajaran dalam penulisan puisi yang dibimbing oleh Dr. Lim Swee Tin secara dalam talian, pada tahun lalu. Penganjuran program kali ini bertujuan mengangkat persoalan kebahasaan untuk menobatkan martabat puisi dan memperkasakan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat umum dan pencinta puisi tanah air.\n\u201cSaya terharu yang amat dan sangat teruja apabila diberitahu satu malam khusus untuk acara deklamasi dan karya-karya saya akan dialunkan oleh para deklamator hebat malam ini,\u201d ucap Dr. Lim ketika diminta memberi sepatah dua kata sebelum acara dimulakan.\nProgram Apresiasi Puisi ini menampilkan 12 orang deklamator, yang melibatkan Alumni Bengkel Puisi Merdeka bimbingan Dr. Lim dan beberapa deklamator serta penyair yang aktif, termasuk Johan Kebangsaan Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kemerdekaan 2021 anjuran GAPENA, iaitu Mohd Fauzi Jamikah. Beliau menyampaikan sajak berjudul \u201cRimbun Bahasa\u201d dengan penuh semangat dan penghayatan melalui bait-bait puisi, antaranya: \u201crimbunnya merendang memayungi bumi dan bangsa ini sampai abadi\u201d.\nNaib Johan Sayembara Puisi Artistik Pemuisi Peringkat Kebangsaan 2020 dan deklamator Angkatan Tentera Malaysia, Siti Nur Aini Jasni atau nama penanya, Bunga Merah mendendangkan syair dan bersajak lewat puisi beliau sendiri yang bertajuk \u201cGemilang Citrawarna Budaya\u201d.\nPeserta jemputan, seorang pensyarah dari UiTM Puncak Perdana, Shah Alam, Dr. Zainatul Shuhaida Abdul Rahman, yang bergiat menulis selama 20 tahun dalam penulisan skrip drama pentas dan puisi, mendeklamasikan puisi berjudul \u201cIndahnya Bahasaku\u201d karya Dr. Lim.\nSatu-satunya peserta dari Brunei, Sosonjan A Khan yang berasal dari Sabah dan juga merupakan penulis novel, cerpen, puisi, esei, skrip drama pentas, skrip televisyen, serta seorang penyair menegaskan kecintaannya terhadap bahasa Melayu melalui karya Dr. Lim berjudul \u201cMasih Bahasaku\u201d.\nPeserta Alumni Bengkel Puisi Merdeka yang juga merupakan Pensyarah Kanan Kesusasteraan Melayu di Pusat Pengajian Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Pengerusi Biro Negeri Perlis, Persatuan Pemuisi Nasional (PEMUISI), Profesor Madya Dr. Nor Hasimah mengalunkan puisi berjudul \u201cCitra Bahasa\u201d karya Dr. Lim.\nKhalayak penonton juga disajikan dengan kepelbagaian persembahan bahasa dan sajak terjemahan bahasa Inggeris, pengucapan kepentingan bahasa menerusi persembahan loghat Kelantan, dan semangat tulisan Jawi yang perlu dikekalkan.\nTidak mustahil bagi orang Kelantan seperti Rusdi MN yang mempersembahkan puisi loghat Kelantan karya Dr. Lim berjudul \u201cHok Sengoti\u201d, walaupun beliau kini sudah menetap di Sibu, Sarawak.\n\nAlunan deklamasi dan aksi yang menawan dengan kemerduan suara guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Seri Setiawan, Perak, iaitu Nurul Aini Adnan tidak dapat dinafikan, melalui persembahan sajak dalam bahasa Inggeris, \u201cThe Reading City\u201d atau \u201cKota Baca\u201d terjemahan Dr. Hasnah Ibrahim. Nurul Aini juga merupakan pemenang Bronze Art Award daripada British Arts Council.\nDalam persembahan pengacara gandingan Lim Ah Nee, beliau mengabadikan semangat tentang tulisan Jawi yang mampu diterjemahkan isi dan semangat bahasa Melayu menerusi deklamasinya lewat sajak berjudul \u201cNirmala Sukma\u201d karya Dr. Lim.\nTurut meluahkan apresiasi tentang tulisan Jawi ialah Guru Ikon Seni Budaya Kebangsaan 2020 dan penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2015, Rohaidah Yon dengan sajak Dr. Lim berjudul \u201cJim Alif Wauya\u201d.\nPeserta-peserta lain yang turut menjayakan program dengan mendeklamasikan puisi karya Dr. Lim termasuklah bekas pesakit COVID-19, Norazilah Amir Basan (Ratu Rugu-rugu) yang memilih sajak berjudul \u201cCovid dan Bahasa\u201d, Abd. Hamid Abd. Halim (Ammet) beraksi dengan sajak \u201cSayap Bahasa di Rentas Benua\u201d, Yeo Hock Lim (Harlym Yeo) menghanyutkan penonton dengan persembahan beliau yang berjudul \u201cKapal Bahasa\u201d.\nProgram Apresiasi Puisi ini dihoskan oleh Pengasas dan Presiden Alumni Bengkel Puisi Merdeka yang juga Pengarah Program dan Pengacara, Harlym Yeo bersama-sama pasangan pengacaranya, Lim Ah Nee.\n\u201cHarapan kami di Alumni Bengkel Puisi Merdeka agar program ini dapat diteruskan setiap bulan secara maya dengan mengambil konsep sempena dengan sesuatu sambutan.\n\u201cBulan akan datang, kami bercadang untuk mengadakan program Apresiasi Puisi Ilmuwan bersempena dengan bermulanya semester di kebanyakan universiti. Kami akan mengundang para profesor pensyarah pelbagai bidang menyampaikan puisi supaya puisi semarak dalam kalangan ilmuwan selaras dengan misi kami dalam pengukuhan merakyatkan seni puisi,\u201d\u00a0ujar Harlym Yeo lagi.\n\nTonton program penuh di sini." "Sasterawan Negara ke-11 Meninggal Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sasterawan Negara ke-11, Dato\u2019 Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali sebagai Kemala meninggal dunia pukul 12.00 tengah hari tadi.\u00a0Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa Pustaka (DBP), YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menjelaskan dalam pernyataan medianya bahawa negara kehilangan seorang sasterawan yang telah menyumbangkan karya sastera untuk pembangunan akal budi bangsa dan pembangunan negara dalam aspek persuratan.\n\u201cDBP secara khusus berhutang budi kepada Allahyarham yang selama puluhan tahun mencurahkan bakti di DBP sebagai tenaga kerja yang gigih dan turut mengangkat imej DBP sebagai badan bahasa, persuratan dan penerbitan,\u201c ujar YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.\nKemala (80 tahun) pernah bertugas sebagai penyunting di DBP pada Mac 1968. Kemudian, sebagai redaksi majalah Dewan Pelajar dan seterusnya,\u00a0majalah Dewan\u00a0Sastera. Allahyarham menimba pengalaman sewaktu bersama-sama dengan Keris Mas dan Tongkat Warrant ketika mengendalikan majalah Dewan Sastera. Selain itu, Allahyarham pernah menjadi editor penyelaras majalah Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat dan Dewan Budaya, serta editor jurnal Perisa.\nAntara karyanya termasuklah kumpulan puisi Timbang Terima (1970), Meditasi (1972), kaktuskaktus (1976), \u2018Ayn (1983), era (1985), Pelabuhan Putih (1989), Titir Zikir (1995), MIM (1999), Syurga Ke Sembilan (1999), Ziarah Tanah Kudup (2006), 1000 Pantun Puitis (2011), Dasawarsa Lima (2016), Qasidah Pelangi Dinihari (2018), kumpulan drama Anna (2012), kumpulan cerpen Laut Takjub (2011), buku esei/kajian Gagasan (1990), Landskap Ungu (2010), Simbolisme dalam Puisi Islam di Malaysia 1970-1990 (2010), dan Puisi Melayu Puisi Dunia (2011). Meditasi, Titir Zikir dan MIM memenangi Hadiah Sastera Malaysia/Hadiah Sastera Perdana Malaysia bagi tahun 1972, 1995 dan 1999. Puisi, cerpen dan esei ecerannya turut memenangi hadiah yang sama.\nSejak tahun 2012, Allahyarham mempunyai ruangan kolum khas \u201cEmmamalia\u201c dalam majalah Dewan Sastera. Pada tahun ini sahaja, Kemala diangkat sebagai Karyawan Bulan Ini untuk isu Bil.1/2021 (Januari) Dewan Sastera, bersempena dengan meraikan 50 tahun majalah sastera nasional tersebut dan ulang tahun kelahirannya pada bulan Januari.\n\u201cLembaga Pengelola, pengurusan dan warga kerja DBP turut melahirkan rasa duka atas kepulangan Allahyarham ke rahmatullah. Takziah diucapkan kepada isteri dan anggota keluarga, dengan iringan doa mudah-mudahan Allah merahmati rohnya. Semoga kecemerlangan Allahyarham dijadikan suri teladan oleh penulis muda dan bakal penulis untuk melahirkan karya yang bererti kepada pembangunan negara, khasnya pembangunan pemikiran dan kerohanian,\u201d jelas \u00a0YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan." "Kandil yang Padam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n(Penghargaan kepada SN Kemala)\nBenar kandil itu telah padam\ntiada menyinar lagi\ntiada memberikan suluh lagi\ntiada lagi memberikan cahaya\npada gelap yang pekat\ndemikian suratan hakikat\nkerana tabii makhluk ada hujung hayatnya\nKullu nafsin zaiqatul maut\nLamun ketika kandil itu dahulu bersinar\nbanyak sudut yang diteranginya\nsudut redaksi\nDewan Sastera, Dewan Bahasa, Dewan Budaya, Dewan Masyarakat, jurnal Perisa\nsudut susastera\nlewat puisi santapan rohani\npuisi kemanusiaan dan perjuangan watan\ndan buah tangan karya genre lain\nsudut pimpinan badan persuratan\nselaku nakhoda PENA\nPersatuan Sastera Bandingan\ndan teraju NUMERA\nyang sinar kandilnya melimpah\ndi alam Melayu raya\nmempersatukan sasterawan\ndi luar batas geopolitik buatan\ndan lewat Pertemuan Puisi Dunia Kuala Lumpur\nserta bakti lain\nyang tak terungkapkan\ntelah dipenuhinya\namanah sebagai kandil gemerlap\nSemoga pemilik hakikinya\nmenghitung segala baktinya\nsebagai amal kebajikan\nAwang Sariyan Kembara Bahasa\n28 Oktober 2021" "Tiga Penyair Terima Anugerah Penyair GAPENA 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPontian \u2013 Tiga orang penyair menerima Anugerah Penyair GAPENA 2021 dalam majlis serba sederhana sempena pelancaran Hari Puisi Nasional (HPN) ke-21 di sini, petang semalam yang disampaikan oleh Menteri Besar Johor, YAB Dato\u2019 Haji Hasni Mohammad.\nPengiktirafan itu menyaksikan Ahmad Sarju, Mahaya Mohd Yassin dan Shapiai Muhammad Ramly menerima watikh pengiktirafan, penerbitan buku, wang tunai dan ruang perbincangan karya. Ketiga-tiga penerima merupakan penyair prolifik dalam ranah sastera kebangsaan.\nAhmad Sarju, pengarang yang berasal dari Klang, Selangor, mula berkarya pada tahun 1970-an dengan hasil tulisan awalnya diterbitkan dalam majalah Mutiara di Singapura. Beliau kerap memenangi pelbagai hadiah sastera sejak 1970-an, malah dinobatkan sebagai Tokoh Penulis Selangor pada tahun 2013. Sehingga kini, beliau sudah menghasilkan lebih 10 kumpulan puisi.\nMahaya pula bukan sahaja dikenali sebagai seorang penyair, sebaliknya sebagai pendidik dan aktivis seni. Beliau yang merupakan mantan Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan sejak tahun 2006 hingga 2020 bukan hanya menulis puisi, tetapi juga cerpen, buku kanak-kanak dan juga naskhah akademik. Beliau juga merupakan Munsyi Dewan.\nSementara itu, Shapiai ialah nama yang tidak perlu diperkenalkan bagi peminat puisi di Malaysia. Berasal dari Perak tetapi menetap di Johor sejak tahun 1970-an, puisi Shapiai kerap menambat hati juri hingga membolehkannya kerap memenangi pelbagai hadiah sastera. Antara naskhah kumpulan puisi tulisan beliau termasuk Aku Ingin Berbeka-Beka dengan-Mu.\nAnugerah Penyair GAPENA diadakan sebagai resolusi HPN ke-9 di Sematan, Sarawak yang mencadangkan GAPENA hendaklah menamakan penyair pilihan pada setiap acara HPN. Anugerah ini kemudiannya mula diberikan pada tahun 1987 dalam sambutan HPN di Kota Kinabalu, Sabah.\nPada majlis yang sama, Amiruddin Md. Ali Hanafiah, Ketua Satu Persatuan Penulis Johor, Ketua Dua GAPENA merangkap Pengerusi Hari Puisi Nasional ke-21, berjaya merangkul Anugerah Penyair Johor.\nDato\u2019 Haji Hasni Mohammad yang turut merasmikan majlis telah melancarkan lima judul buku sastera baharu, iaitu antologi puisi Gema Membelah Gema 19, Munajat untuk Palestin, Anugerah Penyair GAPENA, kumpulan puisi Layar Juang, dan Soneta Pohon Zaitun.\nTurut meraikan majlis ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Ketua Satu GAPENA, YBhg. Datuk Haji Zainal Abidin Borhan, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, YB Tuan Haji Mazlan Bujang, Timbalan Ketua Pengarah Operasi DBP, YBrs. Tuan Haji Abdul Halim Haji Harun, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi, dan Pengarah DBP Wilayah Selatan, YBrs. Puan Norhafizah Mohamed Husin.\nHari Puisi Nasional ke-21 berjalan selama dua hari, bermula pada pagi semalam dengan Diskusi Puisi Johor. Pada malamnya, diadakan Malam Puisi Nasional. Pada hari ini (Sabtu, 30 Oktober), diadakan Bicara Karya Penyair GAPENA, Forum Penyair: Puisi dan Kedamaian, Sambutan Jubli Emas Hari Puisi Nasional dan Kunjungan Puisi, serta Malam Jubli Emas Hari Puisi Nasional ke-21.\nTonton majlis perasmian penuh di sini." "Penyair Kita Berani Memecah Tembok Bentuk Puisi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPontian \u2013 \u201cApabila kita telah memilih cabang jalan untuk menjadi seorang penyair, maka perlu juga dihayati, terdapat peringatan dalam al-Quran berkenaan penyair dengan konteks yang sangat jelas, iaitu kalimah al-syuara\u2019, yang menyentuh perihal kejujuran seorang penyair dalam berkarya,\u201d kata Dr. Shamsudin Othman dalam Majlis Hari Puisi Nasional (HPN) ke-21 semalam (29 Oktober 2021, Jumaat), yang berlangsung di Rumah Citra Sri Pinang, Benut, Pontian, Johor.\nMajlis himpunan para penyair nasional itu berlangsung selama dua hari, 29 dan 30 Oktober 2021, yang turut disiarkan secara langsung di Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), anjuran bersama DBP, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Persatuan Penulis Johor (PPJ) dengan sokongan Kerajaan Negeri Johor.\nDalam penyusunan sejarah perkembangan kepenyairan Malaysia, Shamsudin sebagai penyampai ucaptama majlis menyenaraikan empat jalur yang telah membentuk dan melentur bentuk perkembangan kepenyairan negara.\n\u201cIa (patut dan harus) bermula dengan penyair yang bernama Omar Mustaffa. Sebagai penggerak jalur pertama dalam sejarah perkembangan puisi Melayu, tokoh inilah yang bertanggungjawab menyerlahkan dan membentuk struktur perbezaan antara puisi Melayu tradisional dengan puisi Melayu moden,\u201d jelas Shamsudin. Selain Omar Mustaffa yang mencipta gagasan puisi moden, Kasmani Haji Arif dan Ngoba adalah antara nama yang seangkatan dengannya.\nManakala jalur kedua pula dilihat terbit dalam jiwa penyair-penyair zaman Usman Awang, Baha Zain, Latiff Mohidin, Kemala, T. Alias Taib, dan semua yang seangkatan dengan mereka, kerana dapat meruntuhkan tembok teknik dan bentuk penulisan sajak yang digagaskan oleh penyair jalur pertama tadi. Seterusnya, jalur ketiga disambung pula oleh generasi penyair Rahman Shaari, Lim Swee Tin, Zaen Kasturi, S.M. Zakir, dan Norhayati Ab. Rahman (dan yang seangkatan dan sekuliah dengan mereka).\nAkhirnya, jalur keempat dalam perkembangan kepuisian negara kita dapat dilihat dengan nama penyair, seperti Fahd Razy, Muzaf Ahmad dan Raihani Mohd. Saaid, yang telah mula menunjukkan keberanian mencipta bentuk baharu dalam struktur puisi moden negara. Penyair generasi baharu kini mula keluar daripada kepompong bentuk puisi yang telah berdekad lama bernafas sama.\n\u201cSeperti Muzaf Ahmad yang membicarakan kedamaian dalam puisi \u201cPerjalanan Penyair\u201d, beliau telah melihat dan menterjemahkan makna kedamaian itu dalam satu bentuk yang baharu melalui puisi,\u201d ujar Shamsudin Othman.\nPemenang SEA Write Award (Malaysia) 2020 ini juga mengetengahkan pandangan, tentang apakah keperibadian dan ciri-ciri utama yang membentuk seorang penyair. \u201cApabila berkarya, tulislah sesuatu yang memberikan impak menerusi konsep pengabdian (iaitu ketakutan), justeru dapat melahirkan rasa jujur, rasa insaf dan rasa taqwa dalam karya mereka.\u201d\nPenyair juga sebagai seorang manusia, haruslah mempunyai idolanya, dan idola dalam konteks agama Islam seharusnya mengangkat keperibadian utama Rasulullah SAW sendiri, iaitu siddiq, amanah, tabligh, dan fatonah. Menurut Shamsudin lagi, puisi ini hadir dalam satu pengucapan yang seiring jiwanya dengan sifat-sifat wajib Rasulullah yang empat itu.\nAkhirnya, garis pemisah dan batasan serta ritma yang dapat disusun seseorang penyair untuk berkarya setelah menguasai ciri-ciri berikut adalah bergantung pada kekuatan gaya bahasa mereka. Tiga ciri ini disenaraikan oleh Shamsudin Othman sebagai ciri-ciri utama dalam penyair negara.\nPengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan turut memeriahkan Ucaptama Hari Puisi Nasional ke-21. Mulanya, beliau menyentuh isu sistem pendidikan yang masih pincang dalam meletakkan gagasan sastera di tempat yang sepatutnya.\n\u201cSastera seperti puisi (dan prosa) harus diletakkan di atas landasan yang tepat sebagai satu saluran keilmuan dan pengukuhan adat dan sahsiah. Kepincangan yang nyata di ranah pendidikan kita hari ini boleh dimetaforakan melalui pelaksanaan umat Islam terhadap hukum fardu ain dan fardu kifayah.\n\u201cSeperti mana kedua-dua hukum ini, kerap kali masyarakat memandang abai yang satu lagi dengan ayat-ayat seperti; \u2018orang lain sudah buat, aku tidak perlu buat\u2019, sedangkan sudah jelas bahawa kedua-dua ibadah ini adalah kunci keutuhan keimanan seorang Muslim,\u201d jelas Awang Sariyan.\nBeliau menerangkan lagi, begitulah juga rupanya dengan isu pendidikan Malaysia hari ini. Ilmu kebudayaan, kesenian, bahasa dan kesusasteraan tidak lain tidak bukan merupakan ilmu yang melengkapkan seorang manusia yang berjiwa dan mempunyai sifat kemanusiaan dalam satu masyarakat. Malah, penyair dan penulis perlu memainkan peranan untuk membetulkan kepincangan dalam masyarakat mereka.\nPerihal inisiatif dan apakah perlunya strategi untuk memasyarakatkan sastera, beliau mengemukakan soalan, \u201cAdakah cukup dengan khalayak yang sedia ada? Atau perlukah untuk kita melakukan sesuatu, supaya karya dan gagasan sastera kita hari ini dapat merentas semua khalayak pelbagai kalangan?\u201d\nRanah sastera tempatan hari ini yang melihat ahli perubatan, ahli kejuruteraan dan ahli sains melibatkan diri dalam wacana-wacana sastera semasa, bagi Awang Sariyan, belum dikira mencapai satu tahap yang menggambarkan sastera negara sudah menjangkau dan merentas semua kelompok masyarakat. \u201cKita perlu mengatur strategi untuk mengatasi isu ini yang semakin diperbesarkan dan menjadi polemik wacana sastera kita,\u201d ujarnya.\nMenteri Besar Johor, YAB Dato\u2019 Haji Hasni Mohammad merasmikan majlis HPN ke-21 pada sesi pertama jam 3.30 petang. Susulan upacara perasmian, YAB Dato\u2019 Hasni turut serta dalam upacara pelancaran naskhah Antologi Puisi Karya Penyair GAPENA dan Johor.\nDalam acara perasmian itu juga, berlangsungnya Penyampaian Anugerah Penyair GAPENA 2021, yang dianugerahkan kepada Ahmad Sarju, Mahaya Mohd. Yassin dan Shapiai Muhammad Ramly, manakala Amiruddin Md. Ali Hanafiah pula dinobatkan sebagai penerima Anugerah Penyair Johor, yang juga merupakan Pengerusi Hari Puisi Nasional ke-21 tahun ini.\nTonton ucaptama penuh di sini." "Mahasiswa dan Mahasiswi Celik Kamus\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKeningau, Sabah \u2013 Ceramah Bersahabat dengan Kamus (BdK), Siri yang ke-14 dan Pertandingan Jejak Kamus telah berjaya dilaksanakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau baru-baru ini. Ceramah BdK tersebut disampaikan oleh Puan Julianah Kuli.\nAntara objektif program ini termasuklah untuk memberikan pendedahan kepada mahasiswa dan mahasiswi tentang fungsi kamus, cara menggunakan kamus dengan betul, cara pembinaan kamus dan memberikan maklumat pelbagai produk Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seperti kamus ekabahasa, kamus dwibahasa, kamus istilah dan kamus bahasa sukuan.\nSebanyak 50 orang mahasiswa dan mahasiswi IPG Kampus Keningau telah menyertai ceramah ini dan sebanyak 12 orang mahasiswa dan mahasiswi telah dipilih menyertai Pertandingan Jejak Kamus. Hadiah kepada pemenang pula telah disampaikan oleh Puan Aminah Awang Basar, iaitu Pengarah DBP Cawangan Sabah, dalam majlis Seminar Mini Kearifan Tempatan Motif Sabah.\nJohan Pertandingan Jejak Kamus telah dimenangi oleh Nur Hurin Umairah Mohd. Kamal dan Nurain Syafiqah Khairil Ashraf, yang telah membawa hadiah wang yang bernilai RM250.00 dan sijil penyertaan. Naib johan pula dimenangi oleh Sherny Betty Peter dan Alice Kong Chak Lin, yang menerima hadiah wang tunai RM200.00 dan sijil penyertaan. Sementara itu, Muhammad Azim Jamal dan Nurhidayah Samsir pula muncul sebagai pemenang tempat ketiga, yang menerima wang tunai RM150.00 dan sijil penyertaan.\nPemenang hadiah sagu hati pula dimenangi oleh Glorianne Michelle Anak Jeffery dan Muhammad Eizzlan Ameer Mohd Yusz, Deendee Fendy Glenn dan Givenie Lizabeth Gregory, serta Muhammad Aiman Aqil Che Ahmad dan Abdul Hannan Abd. Wahid. Masing-masing membawa pulang wang tunai RM50.00 dan sijil penyertaan." "Kemala Sahabat Seiring Jalan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nA. Aziz Deraman menyampaikan belasungkawa dengan mengingat kembali pengalaman persahabatannya bersama-sama Sasterawan Negara ke-11, Allahyarham Dato\u2019 Kemala.\nKemala menjadi salah seorang sasterawan yang saya minati terutama karya-karya puisinya .\nSasterawan Negara (SN), Dato\u2019 Dr. Ahmad Khamal Abdullah (30 Januari 1941 \u2013 27 Oktober 2021) atau nama penanya KEMALA ialah suatu nama besar yang tidak asing lagi dalam dunia kesusasteraan di tanah airnya Malaysia dan dalam kalangan negara-negara serantau Nusantara. Keberkesanan kepemimpinannya yang mengangkat nama Nusantara Melayu Raya atau NUMERA (istilah ciptaan beliau) cukup disegani. Allahyarham berjaya menggerakkan kesedaran dan penglibatan rakan-rakan sasterawan dan penulis serumpun melalui suatu wadah kebersamaan untuk bekerjasama mengangkatkan sastera Melayu-Indonesia dengan pelbagai usaha penggalakan dan pengembangan yang meyakinkan.\nSaya mengenali beliau sejak 1970-an lagi, apabila memasuki perkhidmatan kerajaan (Pegawai Tadbir dan Diplomatik) dan bertugas di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS), lebih-lebih lagi sewaktu memegang jawatan Ketua Pengarah Kebudayaan (1981-1987) dan Setiausaha Bahagian Kebudayaan (SUB), Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan (KKP) Malaysia (1987-1989). KKBS ikut memainkan peranan berganding bahu dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di bidang pengembangan sastera. KKBS yang akrab dengan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan pertubuhan seni budaya yang lain banyak mengatur program dengan institusi dan organisasi tadi.\nKeakraban saya dengan Allahyarham Kemala menjadi bertambah kukuh apabila saya dilantik kerajaan menerajui DBP pada bulan 1 Ogos 1994, bertukar dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) setelah kekosongan Ketua Pengarah DBP berlalu beberapa bulan sejak akhir 1993. Agaknya pengalaman selama 16 tahun di KKBS dalam dua kali pusingan tugas menyebabkan kerajaan memberikan peluang kepada saya menakhodai bahtera sebuah institusi yang diumpamakan nyalanya \u201cdari api suatu zaman\u201d, terus menyala biarpun dalam tiupan deruan angin cabaran dan pancaroba zaman.\nKemala menjadi salah seorang sasterawan yang saya minati terutama karya-karya puisinya, sama jua dengan saya meminati sasterawan penyair seperti Usman Awang, A. Samad Said, Muhammad Haji Salleh, Baha Zain dan beberapa orang yang lain, termasuklah sasterawan dan penulis yang seangkatan dengan saya sendiri. Saya dan Kemala sering bertemu dalam acara-acara Hari Sastera, Hari Puisi Nasional, seminar-seminar sastera dan pelbagai bentuk wacana dan bengkel. Di peringkat rantau, para sasterawan dan penulis selalu menyertai Pertemuan Sasterawan Nusantara, Dialog Borneo-Kalimantan, Dialog Pantai dan beberapa lagi. Ada hubungan yang amat rapat antara para sasterawan dengan penulis dari Indonesia, Brunei, Singapura dan kehadiran beberapa orang dari Thailand, Kemboja dan Filipina. Kadang-kadang sarjana dari Barat dan Asia Timur ikut hadir membentangkan kertas kerja di bidang bahasa dan sastera. Kemala kerap diundang membentangkan makalah dalam pertemuan-pertemuan demikian. Kemala berperwatakan lemah lembut dan sopan tatkala berbicara.\nSaya teringat pada bulan Januari 1967, sebuah sajak Kemala yang tersiar dalam majalah Dewan Bahasa berjudul \u201cLagu Kemerdekaan\u201d. Saya menatapnya semasa berada di tingkatan enam atas di Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur. Saya memang meminati sajak-sajak Kemala, meskipun tidak semuanya dapat saya baca. Pada masa itu kami belum bertemu mata. Saya sendiri sangat meminati karya sastera atau puisi bertemakan perjuangan (politik, bahasa, sastera), kenegaraan, patriotisme, keagamaan, kemanusiaan, kasih sayang dan kekeluargaan. Antara luahan rasa beliau dalam \u201cLagu Kemerdekaan\u201d \u00a0itu berbunyi:\nSajak ini kebetulan baru saya temui dalam antologi puisi Tanah Airku (DBP, 2005:183). Sajak-sajak Kemala ada yang panjang sehingga memakan dua atau tiga halaman, teringat akan tabiat saya sendiri yang sama demikian sifatnya, menulis sajak panjang. Kami berkenalan hanya selepas 1970-an apabila saya memegang jawatan di KKBS dan banyak terlibat dalam program dan kegiatan sastera. KKBS cukup rapat hubungan dengan DBP. Selain itu KKBS kerap menggunakan kemudahan seperti Balai Budaya, Dewan Seminar dan melibatkan tokoh-tokoh DBP dalam program KKBS, khususnya di bidang pembinaan dan pengembangan sastera.\nAcara sastera dan sidang Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) Mac 2005 di Mataram Lombok telah saya hadiri selepas bersara dari perkhidmatan kerajaan pada tahun 2004. Saya dianugerahi Tokoh Pencetus MASTERA oleh Indonesia. Beberapa pegawai DBP dan Kemala ikut bersama-sama. Semasa perjalanan pulang, saya dan Kemala sehari dua bermalam di Surabaya. Bilik hotel kami bersebelahan dan keluar bersama-sama untuk makan atau jalan-jalan. Beberapa minggu, telah ada berlaku peristiwa demonstrasi jalanan rakyat Indonesia khususnya generasi muda, di mana-mana kota termasuklah di Surabaya. Kami berkesempatan menyaksikannya.\nDemonstrasi atau tunjuk rasa diadakan atas dua sebab. Pertama kerana isu membantu rumah Indonesia di Malaysia, kedua kerana isu kesenian terutama seni persembahan. Dalam minggu berkenaan terjadinya demonstrasi rakyat Indonesia sebagai tanda protes terhadap Malaysia. Isu utamanya tentang masalah pekerja Indonesia dan media Indonesia tanpa henti-henti mengkritik dan mengutuk Malaysia, dari isu pembantu rumah sehingga kepada kononnya sudah ada \u201cperebutan\u201d pulau-pulau di Selat Sulawesi, dari Ligitan dan Sipadan kepada Ambalat. Ada teguran khususnya dari dalam kalangan para ulama Indonesia, tetapi tidak dihiraukan. Kebijakan dan kebijaksanaan teladan para pemimpin terdahulu merungkaikan isu-isu hubungan dua hala negara bersaudara ini semacam tidak menjadi panduan bersama. (Lihat A. Aziz Deraman, Kerelatifan Budaya, 2018:103).\nManakala seni persembahan Malaysia didakwa mencedok beberapa jenis kesenian dari Indonesia. Malaysia dikatakan \u201cmaleng\u201d, pencuri seni sehingga Malaysia disebut \u201cMalengsia\u201d. Sebenarnya anak-anak muda Indonesia ini tidak menyedari sejarah bahawa kesenian seperti Barong, Hamdolok, Kuda Kepang, Wayang Kulit dan Gamelan Jawa yang terdapat di Malaysia kerana penghijrahan orang-orang dari Jawa ke Johor, menetap dan menjadi rakyat Malaysia. Orang Acheh ke Kedah, orang Bugis ke Selangor dan Johor. Bentuk-bentuk kesenian Minang pula kedapatan di Negeri Sembilan kerana perpindahan orang dari Minangkabau. Juga heboh tuduhan tentang tarian \u201cPendit\u201d, dikatakan dicedok dari tradisi Bali, walhal tarian ini tidak pernah wujud di Malaysia. Berita pergeseran ini mendapat tempat di media antarabangsa. Ada hubungan masam manis buat seketika. Syukur tidak beberapa lama kemudian, suasana menjadi reda dan kembali pulih.\nPada sebelah pagi keesokannya, jika tidak silap, saya ada sebut kepada Kemala saya dapat satu ilham. Ilham tiba sewaktu berbaring-baring di hotel Surabaya pada 10 Mac 2005. Muncul cetusan idea tentang \u201cJiwa Bersaudara\u201d. Dalam \u201cJiwa Bersaudara\u201d itu antara lain saya mencatatkan:\nPada 21 November 2019, Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) sebuah pertubuhan yang didaftarkan pada bulan Mei 2011 (lahir daripada cetusan idea saya pada tahun 2010) bersama-sama DBP Wilayah Timur menganjurkan Syarahan Perdana A Kadir Adabi ke-4. Kemala ialah tokoh tamu yang kami undang. Beliau menyuarakan perasaannya pada pembukaan Syarahan Perdana itu dengan kata-kata \u201cNegeri Kelantan selalu di hati saya\u201d. Syarahan ini merupakan program tetap tahunan PERADABAN sejak 2016 melalui kerjasama pelbagai pihak.\nBagi Kemala juga \u201cSejarah yang menarik bagi Kelantan kerana julung-julung kali Hari Sastera diadakan adalah di Kota Bharu\u201d. Pada tahun 1972 itu, beliau ialah Setiausaha Satu GAPENA. Syarahan beliau bertajuk \u201cDi Bawah Payung Langit Peradaban Ada Seribu Jajaran Pohon Cemara\u201d. Tegas beliau \u201cKelantan adalah Negeri Penyair, Lubuk Puisi Malaysia\u201d; sambil berpesan agar para penulis muda Kelantan mendinamikkan peluang dan peranan ini dengan sebaik-baiknya bagi kepentingan masyarakat, bangsa, agama, negara dan peradaban Melayu. (Lihat sama Citra PERADABAN, Bil. 8 Tahun 6, Mei-Disember 2019/1439H). Semasa berada tiga hari di Kelantan, kami membawa beliau melawat ke Makam Tok Kenali, seorang ulama Kelantan yang tersohor di rantau Melayu, menikmati nasi berlauk di Kubang Kerian, solat di Masjid Muhammady dan makan nasi \u201cikan bekok\u201d lauk pauk cara makan kampung di Tumpat.\nSaya sangat terhutang budi kepada Kemala atas kesediaan Allahyarham menulis \u201cpengantar\u201c untuk kumpulan puisi persendirian saya yang pertama berjudul Kau dan Aku, terbitan DBP tahun 1994. DBP telah menghubungi saya sejak 1990 semasa saya berkhidmat di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) (1989-1991) untuk mengumpulkan dan menyemak dokumentasi sajak-sajak saya yang tersimpan di Pusat Dokumentasi Melayu DBP untuk diterbitkan. Saya masih ingat pegawai DBP yang menulis surat dan menghubungi saya Puan Izah Aziz dan Puan Rogayah Hamid. Tugas berikut diuruskan Mohd Yussop Ishak. Masa ini saya menjadi Setiausaha Bahagian di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) (1993-1994). Pada masa yang sama, pada pertengahan tahun 1994 itu sudah ada desas desus bahawa Kerajaan akan melantik saya sebagai Ketua Pengarah DBP. Mungkin pengalaman saya di KKBS selama 16 tahun dan kecenderungan saya di bidang penulisan menyebabkan saya dicalonkan, meskipun masih junior. Rupa-rupanya telahan itu benar dan berita-berita di akhbar tersiar begitu kerap. Kumpulan puisi saya tepat diterbitkan seminggu dua sebelum saya melaporkan diri.\nKemala dalam pengantar kumpulan puisi tersebut menggunakan judul \u201cKau dan Aku: Suara Religius Penyair Melayu\u201c. Beliau memperkenalkan saya sebagai \u201cbudayawan dan banyak menumpukan perhatian kepada masalah budaya dan pengurusan budaya. Dia banyak memikir dan melibatkan dirinya sebagai strategis budaya, pemikir yang tidak jenuh-jenuh meletakkan dasar kepada pembentukan budaya Malaysia di mana budaya peribumi sebagai asas yang nyata\u201d, \u201cLebih-lebih lagi Aziz Deraman memang sedia diakui sebagai penyair yang mempunyai jalur penulisan yang khusus dengan sajak-sajaknya yang bernafas kemelayuan dan keislaman .\u201d, \u201cKau dan Aku jelas memperlihatkan hubungan yang erat dan pekat antara al-Khalik dan hambanya\u201d, dan \u201cKau dan Aku adalah mempertembungkan kehidupan yang duniawi, persoalan masyarakat dan hablulwatan, cinta tanah air dengan hablunminannas dengan hablunminallah\u201d. (Kau dan Aku, 1994:ix \u2013xviii).\nSetelah memasuki DBP dan menerajuinya ketika berusia 46 tahun, saya sedar masih banyak yang perlu pelajari. Masih banyak kekurangan. Allahyarham SN Dato\u2019 Kemala pada masa saya ke DBP itu masih berkhidmat dan bertugas. Allahyarham seorang yang gigih, cemerlang dan membantu saya dengan sepenuh hati. Hubungan \u201cadik-abang\u201d kerana faktor usia (beliau lebih tua tujuh tahun) begitu saya rasakan, meskipun tidak pernah saya panggil \u201cabang\u201d kepadanya. Allahyarham tidak menolak permintaan saya untuk merujuk beberapa perkara sastera, memberikan pandangan tentang sesuatu isu dan isi penulisan makalah. Semoga segala jasa bakti, budi baik dan kebaikan Allahyarham diterima Allah SWT dan dikurniai ganjaran pahala yang besar. Saya berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman serta berada bersama-sama para syuhada dan para solihin. Aamin Ya Rabbal Aalamiin. Al-Fatihah.\n_________________________\nA. Aziz Deraman\u00a0atau Dato\u2019 Haji Abdul Aziz Deraman ialah Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (1994\u20132004) dan sekarang Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) sejak tahun 2011." "Bagaimanakah Sains Meramu dan Mengadun Kulinari Sastera?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKolumnis Rem Dambul menyatakan cara nuansa dan nafas sains boleh terserap dalam penulisan kreatif.\nDisiplin sains melatih pemikiran dengan aliran logik yang lebih kemas dan daya empirikal yang lebih jelas. Nuansa inilah yang diramu dan diadun ke dalam sajian sastera, dengan nada yang halus tersirat.\nMenerusi tulisan-tulisan saya yang lepas dalam kolum ini, tersurat satu premis yang jelas. Sains dan sastera ialah dua tradisi persuratan yang mampu bersinergi intim dan saling melengkapkan. Namun begitu, masih ada persoalan yang kerap dibangkitkan: \u201cSecara lebih khusus, bagaimana sebenarnya sains bersimbiosis dengan sastera?\u201d\nSaya kadang-kadang agak sentap dan tersentak apabila ada orang mengujarkan: subjek-subjek sains dan teknologi sepatutnya ditulis oleh para saintis yang berkecimpung dalam karya fiksyen. Alasan yang selalu diberi; kerana mereka lebih menguasai isu-isu tersebut. Saya fikir perspektif ini dangkal dan simplistik. Begitu sahajakah cara orang sains menyumbang pada usaha memperkaya korpus susastera? Seolah-olah hanya dengan cara menulis tentang corona virus, inovasi digital, bioteknologi, tenaga nuklear, atau tema-tema seumpama.\nDalam kulinari, kita bermula dengan bahan-bahan mentah, kemudian disusuli oleh proses memasak. Hasilnya nanti ialah hidangan, yang sedia untuk disaji dan disantap. Jika bidang penulisan fiksyen ditamsilkan sebagai resipi, itulah juga tiga elemen utamanya: mempunyai ramuan (ilmu dan informasi) dan teknik masak (gaya olahan), sebelum hidangan dapat disiapkan (karya akhir).\nDalam konteks persuratan kreatif, apakah peranan sains dalam analogi kulinari? Sains tidak sekadar menjadi salah satu bahan yang meramu resepi susastera tersebut. Bahkan, sains juga seharusnya diangkat sebagai satu teknik memasak. Ya, elemen sains boleh teradun intim, sama ada ketika penyediaan bahan asas mahupun proses memasak, yang fungsinya signifikan dalam menentukan citra rasa sesuatu sajian.\nJusteru, kemunculan karyawan sastera dengan latar disiplin sains \u2014 boleh memberi nilai tambah tersendiri pada karya-karya fiksyen. Hal ini bukan sahaja dari segi pengisian, tetapi juga bagi aspek pendekatan dan teknik. Nuansa sains yang objektif dan sistematik, boleh disadur secara tegar dalam proses kreatif, yang bersabit teknik penyusunan dan pengolahan idea.\nFahd Razy merupakan antara pengarang Malaysia paling berbakat, bukan sahaja berdasarkan produktiviti karya, malah merit penulisan yang diukur menerusi gugusan hadiah dan anugerah yang diraih. Beliau juga amat serba boleh kerana mampu menulis karya berkualiti yang merentas genre prosa dan puisi. Fahd Razy berlatarbelakangkan bidang sains, dengan kerjaya profesional selaku seorang doktor perubatan.\nAktivis sastera ini giat mendukung kegiatan-kegiatan pembangunan bakat sastera, terutama dalam kalangan penulis muda. Fahd Razy memperkenalkan konsep \u201csains menulis puisi\u201d sebagai satu komplementari kepada \u201cseni menulis puisi\u201d. Bagaimana dua pendekatan ini berbeza, tetapi saling mengisi jurang yang lompong antara kedua-duanya?\nSebagai satu seni, teknik penulisan puisi selalu didekati dengan kaedah yang sifatnya subjektif dan impresionistik. Ia banyak berasaskan kepada gerak naluri dan penghayatan. Ya, perkara ini amat bermanfaat dalam usaha membina kreativiti dan meluaskan imaginasi. Namun begitu, pendekatan berasaskan seni kadang-kadang menjadikan panduan menulis bersifat agak abstrak dan samar. Hal ini sekali gus menyuguhi para penulis baharu dengan saranan yang\u00a0 kurang praktikal, iaitu teknik yang sukar \u201cdiulang semula\u201d (baca: reproducible) dalam pelbagai keadaan yang lain.\nFahd Razy, yang datang daripada disiplin akademik bernafas sains empirikal, memperkenalkan kaedah yang lebih objektif. Pendekatan \u201csains menulis puisi\u201d berfokus pada pola-pola yang terdapat dalam sajak serta bagaimana ia mempengaruhi kekuatan dan kelemahan sesebuah karya. Pola tersebut dibina dengan data perbandingan hasil penelitian puisi-puisi yang terbukti secara konsensus sebagai berkualiti tinggi. Formula ini kemudian disusun sebagai panduan penulisan yang bersifat teknikal, disokong oleh manual silibus yang lebih mudah dihadam dan diikuti.\nYa, memang benar. Kaedah yang lebih sistematik dengan tatacara tersusun rapi begini, barangkali terlalu rigid dan kurang memberikan penekanan pada konsep pencernaan ilham kreatif. Namun demikian, Fahd Razi sendiri mengakui secara eksplisit bahawa pendekatan menulis puisi daripada mazhab sains dan seni ini sebenarnya perlu dipupuk bersama. Agar kedua-dua kemahiran fundamental dalam penulisan puisi dapat dipenuhi secara tuntas, iaitu teknik yang persis dan idea yang tajam.\nSeperti Fahd Razy, saya juga cenderung untuk menggunakan kekuatan latar belakang sains sebagai satu kaedah dan gaya dalam penulisan. Ya, tidak semestinya menggunakan ilmu dan informasi sains secara langsung sebagai tema-tema penulisan sastera. Disiplin sains melatih pemikiran dengan aliran logik yang lebih kemas dan daya empirikal yang lebih jelas. Nuansa inilah yang diramu dan diadun ke dalam sajian sastera, dengan nada yang halus tersirat.\nDalam satu dialog terbuka tentang dikotomi sastera dan sains, saya pernah ditubi dengan soalan yang sedikit provokatif. Lebih kurang berbunyi begini: \u201cSebagai seorang saintis dan ahli klimatologi, kenapa anda tidak menulis subjek-subjek ini dalam karya sastera?\u201d\nDalam bahasa mudah, seolah-olah saya dicebik \u2014 apa guna saintis menceburi sastera jika tidak membawa kelainan berbentuk silang disiplin. Apa yang tidak disedari oleh ramai orang, nuansa sains sebenarnya tersimpul dengan erat dalam kebanyakan karya saya. Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh pernah membangkitkan perkara ini, tentang kecenderungan saya bermain dengan imej semiotik daripada unsur-unsur cuaca dan iklim. Sungguhpun subjek teras penulisan itu sendiri bukanlah tentang alam sekitar, tetapi lebih kepada hal ehwal keinsanan.\nDalam buku Alien Menchari Chinta (ITBM, 2012), saya menggunakan metafora berasaskan sains atmosfera dalam hampir setiap muka surat. Perlambangan emosi dan naratif cerita digarap dengan petunjuk-petunjuk klimatologi, seperti air, angin, hujan, laut, ombak, pasir, dan seumpamnya. SN Profesor Emeritus Dr. Muhammad, salah seorang panel juri yang memilih Alien Menchari Chinta sebagai penerima anugerah utama Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012, pernah menyatakan \u201ckedalaman tersendiri\u201d elemen semiotik berbentuk imej-imej cuaca dan iklim yang saya nukilkan dalam puisi.\nSebenarnya, inilah satu tabiat penulisan yang tidak pernah dirancang atau disengajakan. Malah, saya sendiri tidak pun menyedari tentang kecenderungan yang ketara ini, sehinggalah saya duduk merefleksi sambil meneliti semula penulisan-penulisan yang lepas. Gaya itu datang seperti fitrah semula jadi kerana selaku seorang klimatologis, saya didedahkan dengan sifat-sifat fizikal sistem udara dan hidrologi secara rinci, selama bertahun-tahun. Saya bukan hanya memahami deskripsi puputan angin, pusaran air dan pupulan ombak, bahkan saya boleh membayangkan dalam minda gerakan-gerakan fizikal itu dengan begitu grafik.\nKepersisan cerapan empirikal inilah, yang secara natural membentuk gaya kepengarangan saya sebagai seorang penyair. Untuk memberi ilustrasi bagaimana latar sains (baca: penggunaan imej-imej metafora cuaca dan iklim) membentuk pemikiran sastera saya, dikongsikan tiga puisi karya sendiri yang ditulis dalam jarak lebih sedekad. Puisi pertama termuat dalam buku Alien Menchari Chinta (ditulis pada tahun 2005), puisi kedua tersiar dalam majalah Wadah (Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013 kategori eceran), dan puisi ketiga dinukil pada tahun ini untuk terbitan Dewan Sastera edisi Jun 2021.\nJangan sangka dan mengharap para saintis sekadar meramu subjek-subjek sains sebagai tema dalam penulisan sastera. Saintis juga boleh mengadun nuasa dan nafas sains sebagai satu pendekatan tersendiri sewaktu proses kreatif dalam menghasilkan karya-karya sastera. Penerapan dengan cara kedua ini jauh lebih bermakna dari segi nilai tambah silang disiplin.\nTentang Esok\nYang kulihat, hanya dia\nyang basah rambutnya\nsesudah puas menari\ndi atas air.\nYang kuingat, hanya rindu\nyang bening warnanya\nsesudah disuburkan\ndengan mimpi.\nIni puisi tentang esok\ntapi sebetulnya\nbercerita tentang dia\npada hari-hari dulu.\nMengapa, ya\naku tiba-tiba rindu\npada rambutnya\nyang basah itu?\n1 Mei 2005\nNorwich, Norfolk\nSelepas Hujan\ni: prolog\nSaat hujan turun\nkau berbisik padaku\nmari kita basah berdua,\nsesudah teduh\nkenapa berpaling rasa?\nii: epilog\nDi celah rambutmu\nyang basah itu\nada tersisip cinta,\nbaunya lebih menusuk\ndaripada sekebun mawar.\nAku melihat dari jauh\ncinta itu diterbangkan angin,\nkerana rambutmu mula kering\nbila kau melangkah pergi.\niii: monolog\nSebenarnya\njika kau menoleh\nwalau hanya separuh hati,\naku masih boleh pulangkan\ncinta yang tercicir\ncuma setapak di belakangmu.\nTapi aku percaya\nkau tidak lagi peduli,\ndalam dingin hujan tadi\nmungkin kau diam-diam tahu\naku bukanlah lelaki itu.\nYang pernah datang\ndalam mimpimu.\nSeptember 2012\nTeluk Sepanggar\nGawat Musim Gelora\nMemilih menjadi pejuang\nbererti kau seorang nahkoda\nyang mahu melawan samudera\nketika gawat musim gelora.\nPertama, kau kenal kapalmu\nkayu apa membina lambung\nserat apa menganyam layar.\nSupaya kaudapat mengukur\ndebur ombak dan desir taufan\nyang mampu ditanggung\ngeladak kapalmu.\nKedua, kau kenal lautmu\nteluk mana ingin disusur\npelabuhan mana mahu dituju.\nSupaya kaudapat menyukat\nkilas angin dan keluk arus\nyang mampu mengapung\nhaluan kapalmu.\nYang ketiga, paling genting\nsesudah mengarifi kapal dan lautmu\njangan kau lupa membaca dirimu.\nKerana seorang nahkoda\ntidak boleh menjinakkan gelora\nsebelum menjinakkan diri sendiri.\nMei 2021\nKota Kinabalu\n_________________________\nRem Dambul atau nama sebenarnya Ramzah Dambul (Dr.) ialah seorang sarjana bidang sains atmosfera; yang gemar berpuisi, melukis dan berfantasi. Dalam dunia utopia, dia seekor murai sastera yang selalu berkicau di perbatasan sains. Antara karya bukunya termasuklah kumpulan puisi Alien Menchari Chinta (ITBM, 2012; Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012/2013),\u00a0Deja Vu Cinta Pencari Katarsis (ITBM, 2014), Dari Cinta kepada Cinta (ITBM, 2015), dan memoir perjalanan Bukan Travelog Haji di Bumi Anbia (Studio Anai Anai, 2017)." "Boleh Bawa Kakanda ke Makam Tok Kenali?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n[Keterangan gambar: Pagi Jumaat, 22 November 2019, SN Dato\u2019 Kemala menziarahi makam Allahyarham Tok Kenali, di Kubang Kerian. Diiringi (dari kiri): Abdul Razak Ismail, Zuharman Mohamad Nor, Rosli K. Matari, Dato\u2019 A. Aziz Deraman, dan Abdul Hadi Yusoff.]\nSempena belasungkawa Allahyarham Sasterawan Negara Dato\u2019 Kemala, Rosli K. Matari mengimbau kenangan indah bersamanya di negeri Kelantan.\nSaya kasih kepada Kelantan. Ini Negeri Serambi Mekah. Dan, ini juga adalah Negeri Penyair .\n\u201cKakanda uzur,\u201d ujarnya. Pendek, ringkas begitu sahaja jawapan pertama yang disuarakannya dengan lembut, ketika saya menyampaikan amanat daripada Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN). PERADABAN berhasrat mengundang beliau hadir sebagai Tokoh Tamu bagi Syarahan Perdana A. Kadir Adabi yang akan diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), Kota Bharu. Undangan itu kira-kira sebulan lebih awal sebelum program berlangsung.\nBeliau menolak dengan baik. Justeru, berasa kesihatannya tidak begitu meyakinkan untuk datang ke Kelantan. Apalagi bagi menyempurnakan program yang dianggap beliau sebagai suatu majlis syarahan yang unggul.\nSungguhpun begitu, beliau tidak cepat menamatkan perbualan. Segera pula ditanyakan beliau tentang mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dato\u2019 A. Aziz Deraman sebagai Presiden yang mengemudi PERADABAN. Malah juga ingin mengetahui perkembangan sastera Kelantan dan beberapa orang penulis serta penyair muda Kelantan. Jelas, beliau begitu cakna. \u201cKakanda kasih kepada Kelantan dan bangga pada kesusasteraan Kelantan,\u201d ujarnya. Saya ketawa kecil, bangga dan berterima kasih pada suara hatinya.\nMemang saya tahu sejak lama, meski dari jauh, beliau begitu cakna, mengambil berat terhadap dinamika kesusasteraan negeri Kelantan. Terutama, misalnya, pada penyair Abdulhadi Muhamad dan penyair muda Rahimidin Zahari (Allahyarham). Malahan, Abdulhadi Muhamad pernah dituliskan beliau dalam sebuah kertas kerja yang dibandingkannya dengan penyair Islamik Indonesia, Soni Farid Maulana. Kertas kerja itu dibentangkan di Jakarta, kemudian disiarkan dalam sebuah akhbar di sana. Saya lupa nama akhbar itu. Terhadap Rahimidin Zahari, lebih-lebih lagilah kerana penyair muda itu mulai terkenal pada puisi Islam.\nAllahyarham Sasterawan Negara (SN) Dato\u2019 Dr. Kemala (Ahmad Khamal Abdullah) membahasakan dirinya sebagai \u201ckakanda\u201d, setiap kali apabila bercakap dengan saya. Maka, terpaksalah saya pula berbahasa sebagai adinda bagi menyesuaikan kata ganti diri dalam perbualan dengannya.\nSaya hanya empat kali sahaja pernah berpeluang bersua dengan Allahyarham. Ertinya, saya tidaklah akrab dengan beliau. Namun, beliau seorang yang cepat mesra dan menghormati. Kali pertama dapat bersua wajah dengan beliau, saya lupa tahun dengan tepat, ketika beliau diundang hadir ke Kelantan bagi bengkel penulisan puisi anjuran Gabungan Penulis Muda Kelantan (GEMA). Pada bengkel inilah, saya memperkenalkan Rahimidin Zahari kepada beliau. Antara pertemuan lain lagi adalah di Kuala Lumpur, semasa suatu majlis penyampaian hadiah sastera, ketika saya hanya menerima hadiah kategori penghargaan atau sagu hati. Beliau sebagai salah seorang antara Sasterawan Negara yang diundang hadir sebagai Tamu Kehormat. Beliau tidak bergegas melangkah pulang. Menunggu saya di tepi pintu keluar. \u201cPanel tidak betul,\u201d beliau merungut dengan keruh wajah. Saya gelak.\nNamun yang tentu sahaja akan selalu saya ingat dan kenang ialah pertemuan terakhir dengan beliau, pada sekitar hujung tahun 2019 lalu.\nDua tahun lepas itu, sesudah menolak dengan baik, tidak dapat memenuhi undangan Syarahan Perdana A. Kadir Adabi, keesokan harinya, beliau terus menghubungi saya semula. Bagai bergegas pula. \u201cAdinda, kakanda harus hadir untuk syarahan itu dan kerana A. Kadir Adabi,\u201d tegas suaranya. Tentu sahaja saya terkejut.\n\u201cBukankah kakanda uzur?\u201d\n\u201cApalah sangat keuzuran ini, berbanding jasa perjuangan dan budi sastera A. Kadir Adabi?\u201d\nSaya tidak menjawab, mengulas apa-apa. Terbayang, terkenang akan pengorbanan A. Kadir Adabi sebagai pemikir, intelektual, pengarang, wartawan, aktivis sosial, aktivis politik, pejuang kemerdekaan, dan reformis kepada masyarakat, kesusasteraan, bahasa, agama, politik, negeri Kelantan, dan tanah air, memang tiada terbalas akan segala nilai budi dan jasanya.\n\u201cKakanda malu pada A. Kadir Adabi,\u201d ujarnya lagi, sayu suara lembutnya. Tercengang saya pada kata-kata itu. Justeru, kedua-dua mereka tidaklah pernah bertemu. Namun, dapat difahami akan maksud kata-katanya itu.\n\u201cBeliau lebih besar daripada kita semua,\u201d beliau menambah hujung katanya.\nSaya cuba mengingatkan lagi akan kesihatan dirinya itu. \u201cKakanda akan gagahkan,\u201d tegas beliau pada hasrat tetap ingin hadir untuk menyempurnakan program bagi mengenang dan menghormati pengarang dan nasionalis A. Kadir Adabi.\nBeliau hadir ke Kelantan. Kami terharu.\nCeria wajahnya, gembira\u00a0 memenuhi undangan dan dapat bertemu, bersama dengan kami. Namun, tampak juga beliau lebih agak pendiam. Terkenang saya pada kata-katanya, baru lalu itu, \u201cKakanda akan gagahkan.\u201d Benarlah, beliau menggagahkan dirinya. Meski sudah agak uzur, namun tetap hadir. Begitu sekali hormat tingginya kepada pengarang besar Kelantan, A. Kadir Adabi, meski antara mereka tidak pernah bersama kerana hakikat dekad berbeza dalam sejarah sastera tanah air.\nSN Dato\u2019 Dr. Kemala ialah Tokoh Tamu ke-5 bagi Syarahan Perdana A. Kadir Adabi pada tahun 2019. Bermula dengan SN Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh pada tahun 2016, seramai 150 khalayak, di DBPWT, Sasterawan Dr. Fatimah Busu, 2017 (200 khalayak, Institut Pendidikan Guru Tengku Mizan, Terengganu), SN Dato\u2019 Dr. Anwar Ridhwan, 2018 (400 khalayak, Universiti Malaysia Kelantan), diikuti Dato\u2019 Dr. Sohami Abdul Aziz, 2021 (webinar melalui pelantar sosial DBP).\nSaya ingat lagi, tulisan dalam WhatsApp beliau kepada saya. \u201cKita rembuk Kelantan ke mana sahaja.\u201d\nDemikian, kiriman catatan beliau, beberapa hari sebelum terbang datang ke Kota Bharu. Membayangkan gembira hatinya untuk ke mana sahaja ingin mengisi kehadiran sambil berehat, ambil angin di Kelantan. Dipesan agar tiket pulangnya adalah pada hari keempat. Saya memberitahu kepada Ilmin Abdullah yang menjadi Pengerusi Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) cawangan Negeri Kelantan tentang hasrat hati Sasterawan Negara itu. \u201cBoleh,\u201d jawab Ilmin. Tentulah Ilmin amat gembira, kerana berbanding dengan kami semua di Kelantan, beliau lebih awal mengenal dan akrab dengan Kemala sejak lama, semasa di Universiti Sains Malaysia sekitar dekad 70-an dulu lagi. Oleh itu, Ilmin berkesanggupan untuk bersama-sama meluangkan masa mengiringi Kemala.\nInilah kali pertama dan terakhir kakanda dapat berpeluang menziarahi makam Allahyarham Tok Kenali .\nTetapi, ketika hari pertama tiba, awal-awal lagi Kemala sudah bersuara kepada saya dan Ilmin, \u201cTak dapat rembuk.\u201d Fahamlah kami bahawa beliau berasa uzur dan ingin meluangkan masanya dengan berehat sahaja di penginapan hotel. Malah, salah satu hasrat, ingin berkunjung ke kediaman penyair Islamik, Abdulhadi Muhamad juga diundurkan beliau.\nSyarahan Perdana A. Kadir Adabi oleh Kemala dipenuhi seramai 120 khayalak. Jika tidak kerana ruang dewan DBPWT yang agak terhad, nescaya PERADABAN boleh mengundang lebih ramai sehingga 300 khalayak. Program ini dianjurkan oleh PERADABAN bersama DBPWT. Beliau menyampaikan syarahan bertajuk \u201cDi Bawah Payung Langit Peradaban Ada Seribu Jajaran Pohon Cemara.\u201d Kami mencadangkan beliau menyampaikan syarahan di kerusi, di atas pentas, tetapi beliau menolak. Mengagumkan kami, beliau menggagahkan diri, berdiri selama dua jam menyampaikan syarahan pada 21 November 2019 itu. Kami mengagak, itu adalah semangat dan hormat beliau pada Sasterawan A. Kadir Adabi.\nDi hadapan khalayak, antara kata-kata awal beliau ialah, \u201cSaya kasih kepada Kelantan. Ini Negeri Serambi Mekah. Dan, ini juga adalah Negeri Penyair.\u201d Beliau sudah lama tahu, Kelantan menjajarkan baris dan jumlah penyair paling ramai di tanah air. Mengharukan kami ialah ketika beliau memanjangkan kata, \u201cSaya menganggap Kelantan adalah juga negeri saya.\u201d\nSaya termenung pada kata-katanya kasih kepada negeri Kelantan. Memang beliau memiliki sejumlah puisi ditulis khusus menyentuh Kelantan, termasuk kreativiti ketika dulu semasa benar-benar berada di Kelantan. Antara puisi itu ialah: (1) \u201cKota Bharu Adalah.\u201d (1972), (2) \u201cNenek Tua dengan Bunga Melur\u201d (1976), \u201cJumaat di Masjid el-Muhammady, Kota Bharu\u201d (1976), \u201cDialog Makrifat\u201d (1986), dan \u201cKota Bharu, Sebelum Muncul Fajar Alaf Baru\u201d (1979). Mungkin, beliaulah penyair dari luar yang paling banyak mencipta puisi khusus pada kaitan Kelantan. Begitu terangsang dan kasihnya beliau pada negeri ini.\nDalam Syarahan Perdana A. Kadir Adabi, beliau pintar cara menyampaikan syarahan dengan menarik \u2013 antara ilmu dan selingan humor yang cukup menggelakkan khalayak. Antaranya, beliau menceritakan semasa menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris (terkenal sebagai SITC) pada tahun 1958\u20131962, ramai sahabatnya terdiri daripada anak Kelantan. \u201cOrang yang baik budi, tetapi gedeber dan tidak takut mati kalau bertumbuk untuk membela sahabat,\u201d katanya tentang para sahabatnya itu. Tentu sahaja kami tergelak. Beliau pandai menggunakan istilah gedeber. Dipinjam beliau daripada istilah yang dipopularkan oleh Dato\u2019 Aziz sebagai maksud berani dan unggul.\nWalau diajak ke Kelantan, tetapi beliau sering tidak berkesempatan. Khalayak gelak ketika beliau menceritakan ramai sahabatnya dari luar Kelantan, ketika itu, berakhir dengan memetik \u201cmawar indah\u201d di Taman Serendah Sekebun Bunga apabila sudah datang ke Kelantan. Khalayak gelak.\nSelepas 10 tahun meninggalkan SITC, barulah pertama kali beliau menjejakkan kakinya di Negeri Cik Siti Wan Kembang ini. \u201cSejarah yang cukup menarik bagi Kelantan kerana julung-julung kali Hari Sastera adalah di negeri ini,\u201d ujarnya, memberitahu kepada khalayak muda yang belum pun lahir ketika itu. Pada masa itu, beliau menjawat Setiausaha Satu GAPENA.\nKhalayak yang sebahagian besar ialah generasi muda, termasuk para penulis muda, diberitahu beliau, Hari Sastera pertama itu begitu meriah, justeru penglibatan Menteri Besar Kelantan sendiri. Menteri Besar ketika itu, Datuk Asri Haji Muda, komited menyambut para peserta dari seluruh negara kerana tokoh pemimpin ini amat mencintai sastera.\nIsi syarahan beliau sarat pemikiran dan ilmu. Antaranya, beliau mengupas tentang usaha membina tamadun, sasterawan unggul yang lahir di tengah-tengah Nusantara Melayu Raya (NUMERA \u2013 istilah beliau) ialah sebahagian daripada dunia sarwajagat, keunikan seni kreativiti daripada ekspresi peribadi, dan perjuangan kemerdekaan. Malah, tidak ditinggalkan beliau tentang ulama masyhur Nusantara dari Kelantan, Tok Kenali. \u201cGuru itu adalah rohani sendiri,\u201d beliau memetik kata-kata Tok Kenali.\nSebahagian antara yang menarik disuarakan beliau agar direnung oleh khalayak ialah usaha membina tamadun bukanlah mudah. Tetapi untuk membinasakan tamadun seperti yang dilakukan oleh Amerika Syarikat di Iraq atau Jepun amat mudah dengan menjatuhkan megaton bom di Hiroshima dan Nagasaki. \u201cBukankah parah tamadun abad ke-20 menanggungnya?\u201d soal beliau. \u201cDeritanya berkurun. Kemabukan dan risiko yang menimpa abad dan tamadun tidak tertanggungkan,\u201d jelas beliau.\nKebanyakan khalayak \u2013 selain penulis muda, turut mencakupi budayawan, sejarawan, pelukis, pensyarah, pendidik, siswa, wakil jabatan, dan lain-lain \u2013 pada program ini merupakan detik pertama kali berpeluang bersua wajah dengan Sasterawan Negara ini.\nKemala melapangkan masanya empat hari di Kelantan. Salah satu malam, selepas makan, beliau mempelawa kami ke bilik penginapannya. Tentulah kami segan. Lebih-labih lagi, tidak ingin mengganggu beliau. \u201cMalam masih muda,\u201d beliau bagai bersastera. Bahkan, bersungguh-sungguh, \u201cMasih ada masa lagi bersama saya. Jangan cepat pulang.\u201d Oleh itu, hampir satu jam \u2013 Ilmin, penyair Abdul Hadi Yusoff dan saya berbual bersama beliau. Malah juga bergelak tawa. Tetapi tawa beliau bagai orang bersopan. Berbanding saya dan Abdul Hadi, tawa panjang ketika bercerita lucu. Kemala menghadiahkan sebotol kecil minyak wangi kepada Hadi dan saya. \u201cIlmin tak apa. Dia sahabat baik saya,\u201d katanya kerana ada dua itu sahaja.\nSaya menghulurkan kepada Ilmin semasa melangkah pulang. Tetapi Ilmin tersenyum, \u201cSimpanlah. Itu hadiah kenangan untuk kau.\u201d\nHari Jumaat \u2013 sehari sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur \u2013 berpagi-pagi Kemala menghubungi saya. \u201cBoleh bawa kakanda ke makam Tok Kenali?\u201d tanyanya. Cepat saya menjawab: tiada masalah kerana Tanah Perkuburan Tok Kenali di Kubang Kerian, berdekatan dengan tempat tinggal saya. Jika dari Kota Bharu, kurang setengah jam sudah boleh sampai kerana jarak empat batu sahaja. Maka, bergegas saya aturkan kunjungan beliau, pada pagi itu juga.\nBeliau tiba dibawa oleh Abdul Hadi Yusoff dengan Mercedeznya. Diiringi oleh Dato\u2019 A. Aziz Deraman dan anakandanya, Arafat. Manakala, Abdul Razak Ismail atau CT Puspa (AJK PERADABAN) bergegas datang jauh dari luar daerah Kota Bharu. Sahabat kesayangan beliau, Ilmin Abdullah tidak berkesempatan hadir bersama kerana kebetulan ada urusan penting lain. Lagipun, hasrat beliau untuk menziarahi makam Allahyarham Tok Kenali itu adalah tiba-tiba sahaja.\nSaya dan penyair muda, Zuharman Mohamad Nor, justeru bersama-sama dari Kubang Kerian, maka menunggu di perkarangan tanah perkuburan. Malahan, kediaman Zuharman bersebelahan tanah perkuburan itu sahaja. Kemala gembira dapat bertemu Zuharman kerana penyair muda ini mulai tampil dengan puisi bernafaskan keislaman. Bahkan, beliau cepat ingat dan dapat menyebutkan sebuah puisi Zuharman berjudul \u201cKubah\u201d yang pernah tersiar dalam Dewan Sastera. Tercengang Zuharman, namun gembira bukan main.\n\u201cInilah kali pertama dan terakhir kakanda dapat berpeluang menziarahi makam Allahyarham Tok Kenali,\u201d bisik Kemala kepada saya. Saya diam sahaja, tidak pandai hendak menambah apa-apa kata. Beliau berdiri di depan makam. Diam dan mendoakan. Memendam sayu hatinya.\n\u201cAdinda tahu, banyak ulama meninggal pada hari Selasa atau Rabu?\u201d\n\u201cTidak pernah tahu,\u201d jawab saya. Namun, Allahyarham Tok Kenali berpulang ke rahmatullah pada hari Ahad.\nPerbualan kami tidak sempat panjang kerana sudah dipanggil oleh para sahabat untuk bergambar kenangan. Itulah kenang-kenangan terakhir Allahyarham Sasterawan Negara Dato\u2019 Dr. Kemala bersama-sama kami di Kelantan. Juga, bagai meninggalkan budi besar terakhir dalam hayatnya, khusus untuk negeri Kelantan.\nSekali, dari Kuala Lumpur, pada tahun ini, beliau mengirimi WhatsApp, memberitahu dirinya uzur benar. Terharulah kami, tiada terkata. Maka, PERADABAN mengadakan solat hajat mendoakan kesembuhan beliau. \u201cTidak usah gunakan wang persatuan. Ambil wang saya,\u201d ujar Dato\u2019 Aziz pada maksud untuk kegunaan bagi jamuan kepada para jemaah. Begitu kasih Dato\u2019 Aziz kepada Kemala. Diadakan di Surau Tok Kenali, memang di perkarangan Tanah Perkuburan Tok Kenali yang pernah diziarahi beliau bersama kami. \u201cTitik air mata kakanda\u201d \u2013 WhatsApp beliau, terharu, menghargai budi kasih persahabatan.\nTokoh besar penyair Islamik tanah air ini berpulang ke rahmatullah pada tengah hari Rabu, 27 Oktober 2021. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Amin dan Al-Fatihah.\n_________________________\nRosli K. Matari lahir di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan pada 5 April 1961. Sebagai Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020, beliau merupakan antara penyair terpenting tanah air yang melahirkan kumpulan puisi Nun Bulan (2011), Anak Dusun (2014), Tidakkah Kita Berada Di Sana? (2014), Hanya Langit Meratap (2015), dan Matahari Itu Jauh (2015). Rosli merupakan Timbalan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN)." "Mengenang Allahyarham Kemala (Siri 1): Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTarikh 27 Oktober 2021, mengundang duka rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan pencinta sastera tanah air apabila negara kehilangan Sasterawan Negara ke-11, Dato\u2019 Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali sebagai Kemala.\nKita kehilangan sasterawan yang menyumbangkan karya sastera untuk pembangunan akal budi bangsa dan pembangunan negara dalam aspek persuratan. Sesungguhnya, jasa beliau amat besar kepada negara,\u201d tutur Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa Pustaka (DBP), YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan ketika mengulas pemergian Allahyarham Kemala.\nTambah YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan lagi, usaha dan jasa Kemala tidak seharusnya dilupakan lebih-lebih lagi apabila Allahyarham bertanggungjawab memulakan satu tradisi yang\u00a0 menyatukan para sasterawan Nusantara melalui persatuan Sasterawan Nusantara Melayu Raya (NUMERA).\nSesungguhnya, usaha ini tidak mudah dilakukan kerana kita sudah ada Majlis Asia Sastera Tenggara (MASTERA) dan ada pelbagai wadah lain tetapi tampaknya Allahyarham Kemala, dengan kekuatan peribadi yang tersendiri telah menerajui NUMERA sehingga menjadi satu badan yang diakui pada peringkat Nusantara." "Getam Guri Bunga Matahari Cetusan Hati YB Exco Negeri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Yang Berhormat Dato\u2019 Haji Abdullah Ya\u2019kub, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan telah melancarkan buku kumpulan puisi Getam Guri Bunga Matahari pada 30 Oktober 2021 yang lalu di Tunjong, Kota Bharu.\nBuku hasil karya M. Nizam Rahman ini merupakan nama pena Yang Berhormat Dato\u2019 Mejar (B) Haji Md. Anizam Ab. Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan.\nBeliau merupakan pesara Angkatan Tentera Malaysia dan amat meminati seni budaya dan kesusasteraan Melayu. Beliau merupakan ADUN Kemahang pada tahun 1999 sehingga kini.\nYB Speaker dalam ucapannya menzahirkan tahniah kepada penulis, kerana bukan sahaja sebagai pemimpin dalam Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK), tetapi mahir dalam ilmu persilatan atau ilmu pertahankan diri, serta menguasai bidang bahasa dan sastera.\nMenurut M. Nizam Rahman, Getam Guri Bunga Matahari (GGBM) merupakan cetusan rasa hati tentang apa yang dilihat, dirasai tentang alam dan pengalaman kehidupan. Perkara ini meliputi pelbagai sudut yang cuba diketengahkan kepada masyarakat, sesuai dengan tugas dan amanat yang dipikul.\nSasterawan Negeri Kelantan, Rosli K. Matari pula menyatakan perasaan berbangga, apabila sejumlah puisi yang besar berjaya dihimpunkan oleh seorang YB Exco Negeri. Rosli bangga dengan sifat penulis yang meminati dan mencintai puisi. \u00a0Selain itu, YB Exco juga mengetahui, dan menghargai dengan mendalam serta halus daya penghayatan puisinya. Penulis juga berbakat, kreatif, gigih dan tekun dan sepertinya sudah lama menulis, diam-diam di luar pengetahuan dari kalangan penulis, dan penggiat\u00a0 seni negeri dan tanah air. \u201cInilah tokoh pemimpin yang benar-benar tegar berdiri di landas kepimpinan melalui teladan,\u201d ujar Rosli K. Matari.\nTambah Rosli lagi, puisi tidak mudah diciptakan. Malah, dapat dibanggakan puisi beliau memperlihatkan keistimewaan khas dari segi pemikiran, kepekaan, kecaknaan, dan kecintaan mendalam terhadap aspek kesenian, kebudayaan, warisan, sejarah, dan kemasyarakatan Kelantan. Hal ini memberikan perkongsian menarik dan bermakna, justeru dapat memperkaya sensitiviti, pengetahuan dan apresiasi pembaca terhadap pelbagai aspek keistimewaan negeri Kelantan. Rencam pemikiran lain mencakupi semangat dan perjuangan hidup, nostalgia diri, alam, tanah air, kasih sayang, muhibah dan perpaduan, falsafah, dan keislaman.\n\nKumpulan puisi yang mengandungi 65 buah puisi ini terbitan 2021 oleh Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA). \u00a0Majlis bersempena dengan Mesyuarat Agung Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK) ke-29 ini telah diserikan dengan persembahan deklamasi puisi bertajuk \u201cBanjir\u201d karya M. Nizam Rahman oleh Siti Nur Fatihah Zainal Abidin, Naib Juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Negeri Kelantan 2021.\nMajlis turut dihadiri oleh Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf (Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam), Encik Norhalis Mohamed Noor (Ketua Penolong Setiausaha, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan), dan Encik Zainal Abidin Muhamad (Ketua Satu GEMA)." "Puisi Membina Perdamaian Sejagat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPontian \u2013 Puisi ialah terapi yang mampu memulihkan semangat seorang penulis, bahkan dapat merawat kebejatan suasana dan sengketa yang berlaku dalam masyarakat. Hal ini merupakan sebahagian daripada agenda utama dalam Forum Penyair Hari Puisi Nasional ke-21 yang berlangsung di Rumah Citra Seri Pinang, Benut, Pontian, Johor pada 30 Oktober lalu.\nSoalan-soalan yang dikemukakan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad selaku moderator kepada empat orang panel mendapat maklum balas yang tersendiri. Apakah fungsi puisi dalam usaha membina perdamaian manusia sejagat?\nPanelis pertama, Haji Mohd Rosli Bakir berpendapat bahawa puisi bukanlah semata-mata medium atau alat untuk menzahirkan idea yang berkaitan dengan kehidupan. Malah lebih penting, puisi lazimnya mengundang manusia untuk kembali mensyukuri kehidupan yang dikurniakan oleh Allah. Apabila melihat persekitaran yang sarat dengan sengketa, maka puisi mengambil peranan menterjemahkan perasaan seseorang.\nKata Haji Rosli juga, \u201cSelagi tidak bersyukur selagi itulah keangkuhan membusut dalam diri.\u201d Justeru, puisi ialah wadah meluah rasa dan fikiran berkaitan konsep kedamaian.\nMenjawab persoalan Saleeh Rahamad tentang impak puisi dalam keadaan yang huru-hara tika ini, sama ada di dunia atau Malaysia sekalipun dari sudut pandang politik dan hubungan antara kaum, maka kata Haji Rosli, \u201cia kembali kepada bagaimana hasil karya itu diperkatakan secara berterusan. Jika berdiam diri, selagi itulah ia tidak akan diperkatakan.\u201d Sindiran halus ini secara tidak langsung mencabar para penyair untuk benar-benar berjuang bersama puisi-puisi yang dihasilkan.\nManakala Syafiq Zulakifli pula menjelaskan kewujudan puisi-puisi kedaiaman sejak zaman Jahiliyah dalam kebudayaan bangsa Arab ketika soalan tentangnya diajukan. Puisi begitu bertujuan untuk mententeramkan masyarakat pada zaman tersebut kerana bangsa Arab Jahiliyah begitu dikenali sebagai masyarakat yang pemarah, pembengis dan buruk akhlak. Ketika ditanya tentang pandangannya terhadap puisi-puisi muallaqat, Syafiq tidak menjawab persoalan tersebut sebaliknya membawa sidang hadirin melihat kepada daya cetusan ilham penyair-penyair yang lahir dari latar pendidikan luar negara, tentang pesona kepenyairan mereka yang mampu mencetuskan puisi-puisi berunsur kedamaian.\nMenyorot kembali pada istilah \u2018Muallaqat\u2019, ia bermaksud puisi-puisi terpilih yang digantungkan di dinding Kaabah semasa zaman jahiliyah. Masyarakat jahiliyah pada ketika itu sangat suka menggubah syair hingga pada kemuncak keaktifan mereka, terlahirlah semboyan asy-Syi\u2019ru diwanul Arab yang bermaksud \u201cpuisi ialah rumah bagi bangsa Arab\u201d. Hal ini kerana mereka beranggapan, puisi-puisi yang tercetus daripada pemikiran penyair ialah puncak peradaban dan warisan kebudayaan Jahiliyah. Justeru, untuk menguji keabsahan dan keindahan karya yang dihasilkan oleh golongan penyair yang diyakini mempunyai pangkat dan kedudukan terhormat, maka diadakan proses dendang syair di tempat terbuka, sambil disaksikan oleh khalayak umum disamping para juri terpilih. Pada akhirnya, penetapan tujuh penyair yang dipilih, maka ternobatlah Umru Al-Qais sebagai penyair utama dalam kebudayaan dan kesenian Arab Jahiliyah. Itulah hanya sekali berlakunya peristiwa besar sebagai tanda menghargai kepenyairan bangsa Arab yang begitu disanjung. Tidak dapat dinafikan juga, pengaruh dan cetusan dunia kepenyairan di dunia tika ini bermula di sini.\nPanel ketiga pula ialah Saudara Zainal Abidin Suhaili (Abizai), penerima SEA Write Award dan Sasterawan Negeri Sarawak, menjawab soalan moderator tentang cara menghasilkan puisi-puisi kedamaian. \u201cPenyair bukan sekadar merakam tetapi perlu membawa fikiran, falsafah dan harus menghayati serta masuk ke dalam sesuatu isu. Justeru, ia lahir daripada hati yang bersih dan mulus, dari dalam diri penyair itu sendiri,\u201d ujarnya.\n\u201cKedamaian adalah punca segala ketenangan di dunia. Jika hati kotor, maka tidak wujud segala macam bantuan daripada orang. Bagi umat Islam pula, punca perdamaian dan kedamaian adalah daripada pentadbiran negara kerana kedamaian seharusnya bermula daripada perkara yang tidak dicemari,\u201d jelas Abizai.\n\u201cSetiap kali menulis puisi, saya selalu memikirkan politik itu adalah kotor. Maka puisilah yang mengelokkannya. Namun demikian, selalu terjadi penyair sering terperangkap dalam satu istilah kata: \u2018orang yang ditempatkan dalam satu tempat yang dihuni oleh orang yang berniat jahat\u2019, kerana selalu terperangkap dengan sangka buruk, prejudis dan akhirnya mencipta kata-kata yang indah, penuh perlambangan, metafora dan berkias. Hal ini kerana penyair inginkan kedamaian, keharmonian dan dapat merentas apa jua sempadan,\u201d ujar Datuk Jasni Matlani, penerima SEA Write Award, \u00a0ketika diajukan soalan tentang bagaimana beliau menghasilkan karya.\nPada akhirnya, Jasni menyatakan kerjaya yang paling selamat di dunia ialah kerjaya sebagai seorang penyair, kerana tanda protes dapat dizahirkan melalui bahasa yang indah, terselindung sama ada secara monolog, naratif dan sebagainya, dengan menyentuh latar budaya dan unsur-unsur perdamaian.\nSaleeh Rahamad menyimpulkan pada akhir sesi forum dengan begitu santai sambil bercanda bahawa penyair ialah pemimpi-pemimpi yang hidup dalam mimpi-mimpi aneh sahaja, kerana apa-apa yang dimimpikan tidak mudah menjadi kenyataan." "Minat Membentang Kertas Kerja Terbuka Folklor?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nOrang awam berpeluang membentangkan kertas kerja berkaitan folklor dibuka kepada individu umum, dari dalam dan luar negeri, sekiranya berminat menyertai barisan pembentang bagi Webinar Antarabangsa Folklor Malaysia (International Webinar on Malaysian Folklore) yang dicadangkan berlangsung, 3\u00e2\u20ac\u201c4 Disember 2021.\nWebinar dianjurkan bersama-sama Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) dan Persatuan Sastera Lisan Malaysia (PSLM). Penaung ialah Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri Kelantan, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).\nWebinar folklor ini bertemakan: Laut, Sungai & Paya (The Sea, The River & The Swamps). Meskipun berfokuskan warisan folklor Melayu di negara ini, namun bagi pembentang kertas kerja terbuka boleh bebas membentang tentang folklor bangsa lain, etnik dan sebagainya, sama ada pada kaitannya dengan negara ini, Nusantara atau mana-mana negara di dunia. Namun, hendaklah berkait dengan fokus laut, sungai atau paya yang ditetapkan oleh Penganjur.\nSarjana, calon sarjana, pensyarah, penulis, budayawan, individu berpengalaman, siswa dan lain-lain dialu-alukan menyertai kategori kertas kerja terbuka ini. Pembentangan boleh secara individu atau kumpulan. Kertas kerja hendaklah ditulis dan dibentangkan dalam bahasa Melayu, manakala bahasa Inggeris hanya dibenarkan bagi penyertaan dari luar negara sahaja.\nNaib Presiden PERADABAN, Aminuddin Mamat, berkata peluang ini bertujuan membuka ruang membantu individu berkeperluan khas pada segi akademik, tugas atau kerjaya, latihan, dan sebagainya, di samping kertas kerja terbuka ini boleh turut memberikan perkongsian ilmu dan pengetahuan luas bagi kepentingan masyarakat.\nPenganjur tidak menyediakan sagu hati pada pembentang kategori kertas kerja terbuka ini, justeru bertujuan memberikan laluan bagi peluang dan keperluan di atas. Namun, pembentang tidak dikenakan yuran pendaftaran kepada Penganjur.\nIndividu berminat menyertai pembentangan kertas kerja terbuka ini boleh menghubungi Setiausaha Kertas Kerja Terbuka (Dr. Nasirin Abdillah) melalui telefon: 011-2920 2202 atau e-mel: [email\u00a0protected]\nTarikh akhir serahan kertas kerja ialah pada 30 November 2021.\nWebinar folkor ini akan disertai seramai 26 orang pembentang dari dalam dan luar negara pada kategori:\n1. Kertas kerja Ucap Utama;\n2. Kertas kerja Teras;\n3. Kertas kerja dari Luar Negara; selain\n4. Kertas kerja Terbuka.\nOrang awam boleh mengikuti webinar ini secara percuma melalui sawang talian maya yang akan dimaklumkan kelak." "Fungsi Perulangan Kata dalam Tradisi Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nS.M. Zakir menampilkan kuasa perulangan kata dalam tradisi budaya Melayu, khususnya dalam penggunaan mantera.\nPerulangan kata bukan sahaja satu tindak reaktif tetapi juga adalah tindak kekuasaan dalam menguasai manusia dan alam.\nTeks tradisi Melayu baik dalam bentuk prosa mahupun puisi tradisional banyak mempunyai perulangan kata sehingga sesetengah pihak melihatnya sebagai unsur lewah malah klise. Secara mudah pula, ia diasosiasikan dengan budaya tradisi Melayu yang dikaitkan bersifat suka mengulang-ulang dan melambatkan penyampaian fikiran dan makna yang jitu. Sebaliknya, banyak berlegar-legar dan bersifat pasif. Sifat suka mengulang-ulang dilihat tidak reaktif dalam menangani situasi dan menahan fikiran daripada terluah langsung dan keras. Hal ini adalah bersalahan dengan sifat sebenar budaya tradisi Melayu yang bukan sahaja bersifat reaktif tetapi juga membangunkan kebijaksanaan sejajar dengan ketamadunan Melayu yang tinggi.\nJika diteliti adat dan resam dalam budaya Melayu, kata-kata selalunya menjadi perkakasan untuk menyantuni hubungan antara manusia. Budaya Melayu tidak meletakkan kata-kata hanya sebagai alat komunikasi, sebalik menjunjung kata-kata sebagai sesuatu yang \u201csuci\u201d. Maka kata-kata menjadi cerminan kepada adab, dan ketinggian akal fikiran manusia Melayu. Malah dalam tradisi yang berakar dari zaman sebelum kemasukan Islam, kata-kata dalam budaya Melayu juga merupakan jambatan pada hubungan manusia dengan alam halus atau alam ghaib.\nPenelitian terhadap penggunaan kata-kata dalam mantera Melayu misalnya, mempunyai pengulangan kata dalam ritmanya yang tersendiri. Pengulangan kata dalam mantera ialah bentuk penegasan yang sangat reaktif sifatnya. Malah, ia menghampiri kecenderungan untuk menguasai situasi dan menghunjamkan fikiran dalam bentuk \u201ckekuasaan\u201d yang tidak kelihatan. Perulangan kata yang berbentuk penegasan ini juga dibawa dalam puisi tradisional yang lebih bersifat sastera, seperti pantun, syair, seloka, gurindam, malah bentuk penulisan prosa tradisional seperti hikayat dan salsilah.\nBerbalik kepada perulangan kata dalam mantera sekali gus melihat fungsi pengulangan kata dalam budaya tradisi Melayu, menurut Noriah Taslim dalam makalahnya \u201cMekanisme Kuasa dalam Mantera: Satu Analisis daripada Pendekatan Pragmatik\u201d yang termuat dalam buku Pandangan Semesta Melayu Mantera (DBP, 2007) menjelaskan dengan huraian konkrit terhadap \u201ckepercayaan\u201d kuasa mantera. Menurutnya, dalam masyarakat tradisional, pramoden atau prasains, kuasa mantera dikaitkan dengan magis yang dipercayai tertakung dalam diri individu yang dianggap istimewa (pawang, bomoh dan sebagainya) dan terpaut pada kata-kata dan bunyi yang memberinya bentuk. Maka dalam konteks estetiknya, kata-kata atau bunyi mempunyai kuasa spiritual, mistik, ghaib, dan secara popularnya disebut magis atau sihir. Fenomena magis dalam masyarakat tradisional diasosiasikan oleh ahli-ahli etnologi dengan upacara dan mantera. Magis yang lahir ini kelihatannya diseru keluar melalui gabungan kata-kata yang berstruktur, perlakuan yang tertib dan objek-objek simbolik.\nBerdasarkan situasi tersebut, maka mantera dalam masyarakat tradisional wujud daripada keperluan dan situasi psikologi yang mendesakkan tindak balas manusia. Menurut Malinowski (1954) ahli psikologi yang melihat fenomena ini, pada mulanya kata-kata tercetus secara spontan. Kemudian perkataan-perkataan yang khusus disusun dan distrukturkan menjadi suatu bentuk yang mudah dihafal, dilontarkan dengan penuh emosi terhadap objek sasaran. Dalam ruapan emosi yang mencetuskan ucapan tersebut, pergerakan anggota juga turut diperagakan. Bentuk bahasa tersebut kemudiannya dikenali sebagai mantera atau jampi dalam konteks masyarakat tradisional Melayu. Setelah itu, oleh kerana keberkesanannya dalam membina rasa berkuasa dalam diri individu dan memenuhi keperluan manusia berhadapan dengan realiti luarnya, diulang sebut dan diulang laku sehingga muncul menjadi ritual yang lebih sistematis dan simbolis. Upacara kemudiannya dijadikan lebih esoterik dan rasmi apabila proses pelaksanaannya dimandatkan kepada individu-individu terpilih yang digelar pawang, dukun atau bomoh.\nMenurut Noriah Taslim lagi, masyarakat tradisional mempunyai kepercayaan yang kuat terhadap kuasa intrinsik bahasa yang mistik \u2013 kuasa ke atas makhluk dan alam. Melalui susunan bahasa yang terkawal dan struktur binaan yang khusus, bahasa dipercayai mempunyai kuasa \u201cphysico-magical\u201d (negatif dan positif) yang cukup kuat ke atas makhluk dan alam. Kepercayaan ini cukup penting untuk kemandirian (survival) manusia dalam persekitaran yang tidak mudah dikuasainya. Melalui rumus-rumus bahasa yang tepat, mereka yakin dapat menundukkan musuh (yang nyata dan ghaib), melemahkan binatang buas, mendamaikan unsur-unsur alam yang mengancam (ribut, guruh, gempa dan kemarau), meningkatkan hasil perburuan dan pertanian, menyembuhkan penyakit, dan dengan itu dapat menguasai alam dengan mudah.\nRitual bahasa ini sering kali digunakan oleh pawang, dukun dan bomoh. Bahasa mantera ialah bahasa komunikasi yang tidak dapat diperendahkan kepada tahap keupayaan linguistik manusia biasa. Bahasa mantera ialah bahasa yang dapat difahami oleh makhluk halus. Ia bertujuan untuk berkomunikasi dengan makhluk halus dan mempengaruhi tindakan mereka. Kepercayaan kepada kuasa bahasa yang dapat menjelmakan atau menghidupkan tenaga-tenaga spiritual atau mistik dari masa silam, maka teknik verbal yang digunakan adalah amat berkesan untuk menyeru, menghela, dan memindahkan ciri, sifat, dan tenaga spiritual lain kepada penerima, menjadikannya sebagai penadah kepada kuasa-kuasa sakti atau magis yang berkesan.\nAmatlah jelas di sini bahawa fungsi perulangan kata-kata dalam budaya tradisi Melayu adalah berakar daripada pohon psiki bangsa yang utuh dan jitu. Perulangan kata bukan sahaja satu tindak reaktif tetapi juga adalah tindak kekuasaan dalam menguasai manusia dan alam. Perulangan kata-kata ialah lambang pada takungan pemikiran yang menuju ke arah kekuasaan untuk menguasai dan mengatasi segala suasana dan keadaan. Dalam kata lain, perulangan kata ialah penegasan yang membangunkan pohon \u201ckekuasaan\u201d yang kukuh dalam diri manusia Melayu.\n_________________________\nS.M. Zakir atau nama penuhnya Syed Mohd Zakir bin Syed Othman dilahirkan pada 4 Februari 1969 di Kota Bharu, Kelantan. Beliau memulakan kerjaya dalam industri media sebelum menjadi penulis sepenuh masa pada tahun 2000. Sepanjang berkarya, S.M. Zakir telah menerima banyak hadiah dan anugerah sastera, seperti Hadiah Sastera Malaysia 1994/1995 bagi kumpulan cerpen Merengkuh Langit (DBP, 1995) dan Anugerah Sastera Negeri Kelantan bagi kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibrail (Pustaka Nusa, 2001), selain Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil, Hadiah Sastera DBP-Maybank, Hadiah Sastera 100 tahun Kuala Lumpur DBP-DBPKL, Hadiah Formula Malaysia, dan Anugerah GAFIM (kritikan filem). Beliau juga telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Muda Mastera 2010 dan penerima SEA Write Awards (Malaysia) 2011." "GTLF 2021: Dari Cermin Tilik ke Mikro-Cosmos\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIkuti catatan pengalaman Izzuddin Ramli menangani urusan festival susastera tahunan terbesar di Malaysia yang penuh mencabar, namun sempat melahirkan hikmah perkongsian seni dan suara yang kosmopolitan.\nSejak berabad lama, di pulau kecil itu, orang dari serata dunia datang membina hidup. Mereka membawa bersama kebudayaan masing-masing untuk ditawarkan di tempat baharu.\nPertama kali saya menyertai George Town Literary Festival (GTLF) adalah pada tahun 2015, sebagai seorang sukarelawan. Seperti para sukarelawan lain, tugas saya hanya tertumpu pada hal-hal teknikal; saya perlu memastikan pentas-pentas siap sebelum setiap acara bermula; menuntun para peserta yang datang dari pelbagai negara ke lokasi-lokasi acara; dan sering ke hulu ke hilir untuk dilihat sibuk. Enak menjadi sukarelawan. Kerjanya tidak terlalu berat, tetapi saya tetap mampu bertegur sapa dengan para penulis yang saya kenal dan tidak kenali. Sebahagiannya sudah saya baca karya-karya mereka. Namun, sialnya menjadi sukarelawan, saya tidak langsung berkesempatan mengikuti perbualan-perbualan pilihan saya.\nMaka, di sela waktu, saya akan pulang ke Bangunan UAB, pentas utama festival, dan beristirehat di lobinya. Di situlah tempat para penulis berkumpul sambil menunggu acara mereka, kedai-kedai buku membentangkan judul-judul terbaharu, dan warung-warung menjual makanan yang kebanyakannya khas Pulau Pinang. Saya sering melabuh punggung di meja kopi di situ\u2014mencari peluang untuk meminta penulis mencoretkan tandatangan pada buku-buku mereka yang saya beli. Di situlah juga tempatnya saya membelek-belek buku panduan festival. Kerana tidak berkesempatan mengikuti acara sebenar, saya menjelajah ke setiap acara melalui buku tersebut.\nTahun berikutnya saya ikut serta lagi. Tetapi kali ini sebagai salah seorang pemudah cara untuk dua buah sesi perbualan dalam bahasa Melayu. Salah satunya ialah perbualan bersama Sasterawan Negara A. Samad Said dan Muhammad Haji Salleh, serta Eddin Khoo, dan Amir Muhammad. Kami berbual tentang Hang Tuah dan hal-hal seputar dunia penterjemahan. Yang menariknya, itulah kali pertama GTLF menampilkan sesi perbualan dalam bahasa selain bahasa Inggeris. Ada rasa canggung juga mengendalikan acara berbahasa Melayu di tengah-tengah festival yang umumnya berbahasa Inggeris. Apalagi kalau itu satu-satunya.\nSaya fikir GTLF hanya meraikan Pulau Pinang sebagai sebuah wilayah yang sifatnya rancak dan kosmopolitan. Sejak berabad lama, di pulau kecil itu, orang dari serata dunia datang membina hidup. Mereka membawa bersama kebudayaan masing-masing untuk ditawarkan di tempat baharu. Apa yang kita lihat di Pulau Pinang pada hari ini ialah sebuah kelahiran baharu hasil daripada nikah campur. Hal ini terpapar pada seni bina bangunan-bangunannya, makanannya, dan tidak terkecuali bahasanya\u2014baik bahasa Melayu, Cina, Tamil, sekalipun Inggeris. Dalam keserabutan itu, bahasa Inggeris secara tidak langsung menjadi bahasa perantara.\nGTLF perlu menjadi antarabangsa dan dalam masa yang sama tetap Malaysia baunya.\nPada hujung tahun 2019, saya menerima panggilan daripada Pauline Fan. Penulis dan penterjemah Malaysia itu baru sahaja sempat menarik nafas panjang setelah selesai menguruskan GTLF 2019. Beliau mengundang saya untuk membantu beliau merencana GTLF bagi tahun-tahun hadapan. Kali ini sebagai kurator. Saya kurang pasti apa alasannya Pauline memperkira saya. Namun saya kemudian tahu bahawa Pauline, yang baru sahaja menjadi pengarah GTLF, sedang menanggung kegusaran. Bagi beliau, festival sastera terbesar di Malaysia ini terlalu Inggeris sifatnya, baik dari aspek bahasa mahupun isi-isi perbualannya. Beliau sendiri tidak mahu kalau GTLF kemudian hari dianggap hanya meminjam tempat, tetapi berpaling daripada melihat pergolakan di sekeliling\u2014atau lebih jauh di rantau ini.\nJalannya adalah melalui bahasa. Namun, beliau tidak mahu bahasa Melayu hanya menjadi sekadar token, diberikan satu sudut kecil untuk bermain di festival. GTLF perlu menjadi antarabangsa dan dalam masa yang sama tetap Malaysia baunya. Saya rasa tidak pelik kalau beliau menanggung keresahan tersebut. Sebagai orang yang fasih berbahasa Inggeris, Melayu, malah Jerman, dan sudah sekian lama menterjemahkan karya-karya sastera daripada ketiga-tiga bahasa ini, serta kerja hariannya juga adalah bersama para penggiat seni tradisional di kampung-kampung, Pauline faham benar dengan politik bahasa yang berlegar.\nBagi Pauline, \u201cBahasa bukan sahaja wahana sastera dan pemikiran. Ia mengungkapkan semangat, naluri dan kata hati seseorang dan masyarakat. Setiap bahasa mempunyai nuansa tersendiri yang dibentuk oleh pengalaman dan pandangan dunia, yang tidak selalunya dapat ditangkap dalam bahasa perantaraan antarabangsa.\u201d Tambahnya lagi, \u201cTanah air kita begitu subur dengan kepelbagaian bahasa \u2014 oleh itu, saya ingin menjadikan GTLF sebuah landasan yang mendukung kesemua aliran sastera di Malaysia, baik yang wujud dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina, dan Tamil, mahupun bahasa-bahasa orang asli di Semenanjung dan masyarakat peribumi di Sabah dan Sarawak.\u201d\nKehadiran saya sebagai kurator bukan semata-mata untuk membangunkan dan menguruskan acara-acara berbahasa Melayu. Pauline sangat licik. Dengan saya, beliau berbahas, menawar-nawar, merenung, mempersoal, terus-menerus berbalah, dan menghempaskan kekecewaan terhadap pelbagai tajuk seputar sastera, bahasa dan dunia penulisan secara umum. Dari situ, kami perlahan-lahan membangunkan GTLF secara keseluruhan. Asasnya adalah untuk menghubungkan yang antarabangsa dengan yang tempatan; meraikan yang baharu dan yang lama; dan menggali-gali sastera daripada puluhan bahasa peribumi\u2014khususnya bahasa-bahasa yang ada di kepulauan Borneo\u2014untuk dibawa ke GTLF, dan kalau beruntung, dapat diterjemahkan kemudian.\nSaya sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana GTLF atau \u2018festival\u2019 secara umum dapat diadakan lagi .\nNamun, baru ingin saya mengelamun\u2014membayangkan diri saya tercegat di hadapan gedung festival sambil merokok tanda puas dengan segala yang telah saya bantu aturkan\u2014kami menerima berita buruk: Malaysia baru mencatatkan kes COVID-19 pertamanya. Tidak berapa lama kemudian, seluruh negara diarahkan untuk berkurung di rumah. Celakanya, rencana kami untuk menganjurkan festival sastera itu secara fizikal menjadi kabur. Malah, saya sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana GTLF atau \u201cfestival\u201d secara umum dapat diadakan lagi. Bagaimana mungkin pesta yang sifatnya diraikan bersama dapat dilakukan ketika orang mula menjauhi satu sama lain.\nAkhirnya, untuk tetap memahami dunia yang sedang mengenal-ngenal pelbagai kosa kata baharu atau yang jarang digunakan seperti \u201ckuncitara\u201d, \u00a0\u201cpenjarakan sosial\u201d, dan \u201ckuarantin\u201d, maka kami memutuskan untuk berpindah ke dalam talian. Kami menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku di sekeliling. Pada waktu itu, banyak kegiatan beralih ke dalam talian dengan pelbagai platform sudah tersedia. Hampir setiap hari ada acara dalam talian. Kumpulan-kumpulan penyair, khususnya yang muda-muda mengajurkan maraton bacaan puisi. Mereka menganjurkan forum-forum membahas hal-hal seputar sastera Malaysia, serantau dan antarabangsa.\nYang jelas, orang cuba memberi makna; merawat rasa terkejut apabila pertama kali dipaksa berkurung untuk suatu tempoh yang tidak jelas hujungnya.\nWalau bagaimanapun, GTLF tidak ingin menambah kepada \u201ckepenatan digital\u201d, kebisingan, kelemasan, dan rasa \u201cjanggal\u201d yang sudah mula dirasai sejak beberapa bulan selepas wabak. Apakan tidak, sebelum ini, jika ingin ke pertemuan-pertemuan sastera, orang perlu bersiap-siap setidak-tidaknya satu jam lebih awal; mandi dan makan, kemudian menaiki teksi atau LRT untuk ke tempat acara sastera. Selepas acara, kita boleh berbual-bual santai sambil mengopi sebelum berangkat pulang.\nDi layar komputer atau telefon, kita hanya tinggal menekan butang sign out. Habis.\nMaka, kami memilih jalan yang lebih perlahan, namun tetap cuba untuk menyuntik semangat \u201cfestival\u201d kepada khalayak. Dengan kerjasama Nusantara Audiobooks\u00a0yang berpangkalan di Kuala Lumpur, kami menghasilkan audio siar (podcast). Matlamatnya adalah untuk memberi peluang kepada para pengikut setia GTLF bersenang-senang dengan festival ini. Saya kira, audio siar pada awal tahun 2020 masih belum popular di Malaysia. Tidak banyak channel audio siar kendalian orang Malaysia yang boleh ditemui di Spotify atau Apple Podcast.\nKetika dunia sedang diselubungi wabak, kita pula melalui waktu merawat. Kita merintih dengan apa-apa yang telah hilang atau yang kita abaikan selama ini. Salah satunya ialah bagaimana kita merindui pertemuan fizikal, dan bagaimana media sosial merampas kemampuan kita untuk mendengar dengan lebih tekun dan \u201chadir\u201d. Oleh itu, GTLF dengan tema \u201cThrough the Looking Glass\u201d pada tahun itu memberi tumpuan kepada meningkatkan kepuasan mendengar dengan menyediakan kualiti audio yang terbaik. Jadi, orang boleh menentukan masa sendiri untuk \u201cberfestival\u201d. Kebetulan, saya juga lebih awal sedang mengendalikan audi siar sendiri.\nHasilnya, dalam segala kesempitan, GTLF 2020 berhasil menghadirkan seramai 82 orang penulis dan penyair secara maya, serta menerbitkan lebih kurang 28 episod audio siar, 11 daripadanya berbahasa Melayu, yang boleh terus didengari sehingga hari ini.\nBagi masa hadapan, GTLF perlu merombak cara pandang alam dan terbuka kepada pelbagai khayalan tentang dunia yang baharu .\nTahun 2020 menjadi tahun gelap, sepi dan hampir hilang. Ia adalah tahun di mana kita hanya mampu menghadap cermin tilik\u2014baik secara harfiah mahupun kiasan. Termangu, kita menilai kembali hubungan kita dengan masyarakat dan alam. Kita meratapi bagaimana penutupan sempadan dan pergerakan yang terbatas telah memberikan kesan besar kepada landskap budaya. Tidak hanya GTLF, festival-festival sastera lain di seluruh dunia, baik besar atau kecil, menanggung nasib yang sama. Lebih daripada setahun, sastera\u2014baik menulis atau membaca\u2014menjadi sebuah pengalaman yang amat sunyi dan bersendiri.\nOleh itu, ketika Pauline mengundang saya untuk sekali lagi mengaturkan festival sastera ini buat tahun 2021, saya sedikit ragu-ragu. Apa sahaja festival, tidak mungkin seperti dahulu lagi. Namun, setelah bermain tarik tali buat kesekian kalinya, kami bersetuju untuk duduk merancang kalau GTLF tidak sekadar meratapi atau mengenang sengsara wabak. Bagi masa hadapan, GTLF perlu merombak cara pandang alam dan terbuka kepada pelbagai khayalan tentang dunia yang baharu. Biarpun hidup dalam keterkurungan, pandangan tetap harus ditala ke luar jendela.\nMaka, dari kejauhan (tidak sempat sekalipun para panitia festival bertemu secara bersemuka), kami memutuskan untuk bergerak dengan tema Mikro-cosmos\u2014untuk meneroka semangat kosmopolitanisme dan kesalinghubungan yang terjalin melalui sastera, bahasa dan pemikiran. Kami percaya bahawa, sekalipun kepayahan yang kita hadapi hari ini telah mengaburi keberadaan kita dan memperdalam lagi perpecahan masyarakat, kata-kata tetap setia dengan tugasnya. Ia membawa kita menjelajah bagi melihat pelbagai kemungkinan hubungan yang nikmatnya melampaui pahit manis hidup dalam pengasingan.\nMelihat dari kaca mata Mikro-cosmos menjauhkan kita daripada rasa terperuk, sekali gus mengangkat setiap daripada kita menjadi warga dunia\u2014warga kosmopolitan. Kepulauan Nusantara setidak-tidaknya sudah lama merangkul semangat sedemikian. Kepulauan yang terbuka dan buas ini senantiasa menyeru kepada angin pertemuan, keraian, pertentangan, mahupun percanggahan. Untuk memahami sifatnya yang tidak terjinakkan ini, kita mendampingi kesusasteraan, baik yang di rantau ini atau rantau lainnya.\nSudah tentu kita juga menoleh ke Pulau Pinang, melihat tanah tempat lahir GTLF ini sebagai sebuah mikrokosma kosmopolitan yang rancak di Nusantara. Ia menjadi sebuah wilayah tempat berakarnya ingatan, mekarnya khayalan dan bernafasnya cerita.\nPada kesempatan ini, saya menjadi lebih rapat dengan para penyair dari pulau Borneo seperti Thira Mohamad, Kulleh Grasi, Clariessa Kesulai, dan Nelson Dino yang akrab dengan ensera kaum Iban dan kissa kaum Suluk. Mereka sudah lama menjalinkan bebenang lisan dengan yang tersurat. Di kesempatan yang sama juga saya dibawa \u201cmerantau\u201d oleh Faisal Tehrani dan penulis Singapura, Azhar Ibrahim yang membedah konsep kembara, kelana, petualang, dan pelimbang dalam kesusasteraan Nusantara.\nMenyusun-atur GTLF pada tahun ini seperti berumah di tepi pantai. Kita merasai percikan air masinnya, tertiup oleh bayunya, apatah lagi ketika mendengar Wan Hanafi Su membacakan petikan daripada Angin Timur Laut karya Sasterawan Negara S. Othman Kelantan. Malah, perbualan Pauline Fan bersama penulis Jepun, Minae Mizumura dalam \u201cThe Shifting Shores of Language\u201d tentang pengaruh pantai kebudayaan dan bahasa Jepun dan Amerika terhadap karya Minae turut membawa semangat yang sama.\nOptimis dengan pengantarabangsaan tidak bermakna kita tidak langsung bersikap kritikal terhadapnya. Kita juga mengintai sisi-sisi gelap pengantarabangsaan serta kuasa seperti penjajahan, penjarahan dan kapitalisme global. Melalui perbualan Adriana Nordin Manan bersama Mukoma Wa Ngugi, Juvita Tatan Wan dan Nazry Bahrawi, kita meneroka bagaimana sastera melakukan penyah-jajahan di rantau Asia dan Afrika.\nSenarainya memang panjang dan tidak dapat dibicarakan dalam catatan pendek ini.\nNamun, ketika sibuk mengatur festival GTLF pada tahun lalu, saya sempat mengeluh kepada Pauline bahawa, menghadirkan sebuah festival sastera secara maya ialah suatu kerja yang lebih memenatkan. Malah, bagi saya, ruang maya tetap tidak mampu memberikan sensasi festival fizikal. Ruang maya sememangnya membantu, tetapi ia tidak harus menggantikan yang fizikal.\nSaya memikirkan, perlunya kita perlahan-lahan kembali ke azali, menghadirkan sesuatu yang boleh disentuh dan dihidu. Dengan kerjasama jurnal Svara, maka lahirlah sebuah jurnal sastera bercetak yang diberi nama Muara: Confluence|Pertemuan\u2014sekali lagi namanya berbau pasir pantai atau lebih tepatnya mencerminkan kecairan dan keterhubungan.\nAlasan untuk menerbitkan Muara juga sebahagiannya adalah untuk meraikan ulang tahun kesepuluh GTLF. Di lembar Muara, kami cuba untuk mempertemukan diri dalam ingatan dan kedalaman yang tidak berdasar. Melalui esei, cereka, sajak, ulasan buku, dan terjemahan, seramai 36 orang penulis, penyair dan penterjemah bermain dengan pelbagai bentuk idea dan khayalan, lalu mentafsirkan kenyataan-kenyataan kita yang tidak menentu.\nTahun ini ialah tahun penganjuran GTLF yang kesebelas. Seperti biasa, GTLF sentiasa cuba untuk menghadirkan segala (khususnya angin dan semangat) yang baharu pada setiap tahun. Malah, jumlah penulis dan penyair yang siap untuk menyertai\u2014biarpun secara maya\u2014adalah lebih ramai berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya.\nDi meja tulis, saya duduk merenung bagaimana saya mula terlibat dalam penganjuran festival sastera terbesar di Malaysia ini. Saya hadir ketika GTLF sudah berumur remaja. Jalan yang saya ambil ialah jalan yang sudah dirintis cantik oleh para pendahulu saya. Kini, tugas berat yang perlu dipikul oleh Pauline dan saya sendiri adalah untuk memastikan hal itu: menjadikan GTLF sentiasa Malaysia dan bergetah remaja.\n\nAcara rasmi George Town Literary Festival (GTLF) akan berlangsung pada 25\u201328 November 2021. Ikuti makluman acara festival ini sepanjang tarikh itu di laman rasmi GTLF dan halaman Facebook rasmi GTLF.\n_________________________\nIzzuddin Ramli ialah penulis, penterjemah dan kurator George Town Literary Festival." "Semarak Puisi UKM: Pemangkin Bahasa, Budaya dan Sastera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Sasterawan Negara (SN) Dato\u2019 Dr. Zurinah Hassan, SN Dato\u2019 Seri Dr. A. Samad Said, penyair dan pengkritik Dato\u2019 Dr. Rahman Shaari, penyair Indonesia, Jose Rizal Manua dan Muhammad Kafrawi, dan Deklamator Kebangsaan, Lin Haslinaz, merupakan antara personaliti yang menyemarakkan program Semarak Puisi UKM 2021 pada 6 November, 8.30 malam secara dalam talian menerusi media sosial Dewan Bahasa dan Pustaka dan pelantar Zoom Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).\nZurinah Hassan menyampaikan puisi beliau berjudul \u201cSemalu\u201d secara puitis melalui alunan sajak dan dendangan syair bersulamkan peringatan kepada mahasiswa agar tidak mudah berputus asa dalam perjuangan hidup.\nSementara itu, Sasterawan Negara ke-4, A.Samad Said yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad dengan tegas mengutarakan amanat tentang kepentingan masa daripada persepsi orang lama kepada golongan muda lewat sajak beliau, \u201cInti Masa\u201d.\nProgram Semarak Puisi UKM 2021 ialah ajuran Pusat Kebudayaan Universiti, UKM dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR).\n\u201cProgram ini merupakan satu platform yang terbaik bukan sahaja dapat menjalinkan persefahaman yang erat antara UKM bersama organisasi mahupun badan-badan kesenian di luar, malah sebagai sebuah universiti watan, program seumpama ini memperlihatkan UKM terus berdaya saing serta meningkatkan usaha dan kualiti, seiringan dengan nilai TERAS yang menjadi naratif baharu UKM,\u201d kata Prof. Dato\u2019 Ir. Dr. Othman A. Karim, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar, Universiti Kebangsaan Malaysia, saat menyampaikan ucapan wakil universiti dalam acara ini.\nDalam usaha untuk memupuk minat dan kecintaan seni sastera dan budaya tanah air, program ini menampilkan persembahan seni melalui deklamasi puisi dan nyanyian lagu-lagu puisi oleh para sasterawan, penggiat seni sastera, tokoh budaya dan akademik, wakil pemuisi dari Indonesia, pensyarah dan mahasiswa UKM dengan bertemakan \u201cMengilham Harapan, Mencipta Masa Depan\u201d, selaras dengan moto UKM yang menyambut usia ke-51 tahun penubuhannya pada 18 Mei 2021 yang lalu.\nSebagai ikhtiar mengeratkan jalinan antara UKM dengan badan kesenian luar, progam ini menyajikan persembahan selingan yang unik daripada dua orang pemuisi dari Indonesia, Jose Rizal Manua dengan puisi \u201cSengseng Tengtes Sreepbrebeet\u201d dan Hang Kafrawi yang mendeklamasikan sajak \u201cIni tentang Awang: Tak Perlu Rindu\u201d.\nTurut menjayakan program tersebut ialah Presiden PENYAIR, Dato\u2019 Rahman Shaari yang mendeklamasikan sajak beliau bertajuk \u201cDalam Kesopanan Kita\u201d, manakala Presiden dan Pengasas Alumni Bengkel Puisi Merdeka dan Exco Pemuisi, Harlym Yeo atau nama sebenar Yeo Hock Lim menyuntik semangat kepada generasi muda agar memelihara ketuanan tanah air dan menyambut cabaran zaman melalui karya nukilan Ahmad Shukri Abdulah berjudul \u201cCeritera Pohon Bangsa\u201d.\nTurut menyemarakkan acara tersebut ialah Dato\u2019 Dr. Ibrahim Ghaffar (Sanggar Damai Abadi), dan Deklamator Kebangsaan Lin Haslinaz daripada Kementerian Pendidikan Malaysia. Masing-masing melontarkan bait-bait puitis dan penuh semangat lewat karya sendiri berjudul \u201cNilai Cabaran, Kitalah Penerus Perjuangan\u201d dan \u201cMengilham Harapan Mencipta Masa Depan\u201d.\n\u201cUKM terus gagah berdiri dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu serta mensejagatkan ilmu berpaksikan budaya kebangsaan. Selain memperkasakan kualiti pendidikan dalam bidang kebudayaan dan kesenian, program ini memperlihatkan kesungguhan UKM memperkukuhkan peranannya meneraju kemajuan pendidikan tinggi serta pengembangan ilmu seni, budaya dan warisan negara,\u201d kata Dr. Tan Awang Besar, Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), ketika berucap merasmikan program ini.\nMenurut beliau, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia menyambut baik usaha Pusat Kebudayaan Universiti, UKM dalam mengadakan program Semarak Puisi ini kerana ia selari dengan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN 2021), iaitu ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan serta penyemarakan seni budaya warisan bangsa. Katanya lagi, selain dapat melahirkan rasa cinta masyarakat Malaysia terhadap bahasa dan sastera Melayu, khususnya puisi, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk melestarikan bahasa dan sastera Melayu sebagai salah satu warisan negara.\n\u201cMarilah kita bersama-sama memastikan agar seni, budaya dan warisan kita sentiasa diangkat dan dipertahankan demi kelangsungan identiti budaya bangsa. Justeru, saya menyeru kepada seluruh warga universiti serta seluruh Keluarga Malaysia agar terus mendukung aspirasi ini supaya aspek seni, budaya dan warisan negara terus terpelihara,\u201d seru Dr. Tan Awang Besar kepada para penonton.\nBeberapa orang warga UKM dalam kalangan pentadbir, pendidik dan mahasiswa turut menyumbangkan persembahan mereka, termasuk Mohamadiani Hj. Kasian, Mantan Pegawai Kebudayaan, UKM, yang berpuisi dengan karya Diani Kancil berjudul \u201cMenggapai Harapan, Mencapai Kejayaan\u201d; Tuan Haji Abd Razak Hussin, Mantan Pendaftar, UKM dengan puisi SN Usman Awang bertajuk \u201cUniversiti Kebangsaan\u201d; dan Prof. Dato\u2019 Ir. Dr. Othman A. Karim mendeklamasikan sajak Anuar Abdullah, \u201cMengilham Harapan, Mencipta Masa Depan\u201d.\nTurut menghangatkan persembahan program ini ialah pensyarah kanan dan pelajar tahun dua Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, Dr. Zubir Idris melalui puisi Dr. Shafie Abu Bakar, \u201cUniversiti Kebangsaan Malaysia\u201d dan Muhammad Danial Mukhlis bin Salleh dengan karya sendiri, \u201cHikayat Watan Bitara\u201d.\nSelain warga UKM sendiri, program ini turut mendapat sokongan dan dukungan pelbagai institusi, seperti Universiti Utara Malaysia (UUM), Akademi Seni Budaya dan Warisan, dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). Masing-masing menampilkan wakil peserta yang tidak kurang hebatnya, seperti Pensyarah Sekolah Pengajian Pendidikan, UUM, Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail dengan puisi sendiri berjudul \u201cImpian dan Harapan\u201d,\nMohd Kamarulzaman Taib dengan sajak nukilan Che Kem berjudul \u201cPakngah Datang dalam Mimpi\u201d dan Ketua Pengarah JKKN, Tuan Haji Mesran Mohd Yusop mempersembahkan sajak sendiri bertajuk \u201cTeraju Dinanti\u201d.\nBagi meredakan kehangatan persembahan deklamasi puisi, program ini juga menghidangkan sajian berupa persembahan nyanyian sebagai selingan daripada Kombo Pusat Kebudayaan Universiti, UKM. Dendangan lagu puisi Masihkah Kau Ingat menjadi persembangan penutup yang menggamit nostalgia para penonton.\nAcara yang berlangsung selama lebih kurang dua jam lima belas minit itu dikemudikan oleh Saifulkhairi Ahmad, dan bacaan doa dipimpin oleh Ustaz Muhammad Haziq Abdul Samad.\nDalam ucapan selaku wakil universiti, Othman A. Karim mengharapkan semoga lebih banyak lagi aktiviti kebudayaan dan kesenian dapat dilaksanakan selepas ini.\nMenurut beliau, program seumpama ini juga dapat menjadi pemangkin yang menggalakkan lebih banyak penghasilan penyelidikan bahasa, kebudayaan dan kesusasteraan Melayu.\n\nTonton program penuh di sini." "Cakna dan Cinta akan Tulisan Jawi sebagai Identiti Bangsa Warisan Nusa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNEGERI SEMBILAN \u2212 Sejarah tulisan Jawi di Malaysia berkait rapat dengan kedatangan para pedagang Arab. Tulisan Jawi mula berkembang melalui aktiviti perdagangan dan perniagaan yang dijalankan oleh orang-orang Arab di samping aktiviti dakwah Islamiah yang menggunakan tulisan Jawi secara meluas.\nSusur galur sejarah tulisan Jawi di Indonesia pula tiada bezanya daripada di Malaysia. Perkembangan ejaannya juga sama. Yang membezakannya cuma dari segi kekerapan penggunaannya yang masih lagi kurang dalam masyarakat. Namun begitu, masih ada segelintir dalam kalangan masyarakat Indonesia yang mencintai tulisan Jawi, terutamanya di sekolah-sekolah pondok.\nSementara itu, sejarah tulisan Jawi di Brunei Darussalam pula bermula seawal kurun ke-10 menerusi penemuan batu-batu nisan di Bandar Seri Begawan dan kawasan sekitarnya. Batu nisan ini walaupun ditulis dalam bahasa Arab jelas membuktikan bahawa huruf-huruf tersebut telah mula bertapak dan diperkenalkan kepada masyarakat tempatan sejak tarikh tersebut.\n\nSehubungan dengan itu, program untuk memartabatkan dan melestarikan tulisan Jawi di Nusantara yang melibatkan negara serumpun seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam telah berlangsung dengan jayanya bermula pada pukul 9.30 pagi tadi. Program ini diadakan untuk menyemarakkan semula penggunaan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat.\nAntara topik yang dibincangkan termasuklah sejarah dan kedudukan tulisan Jawi, tulisan Jawi dalam sistem pendidikan dan usaha pemugaran dan pelestarian tulisan Jawi di Nusantara. Selain itu, antara cadangan dan usaha pemugaran dan pemartabatan tulisan Jawi pada era digital kini termasuklah melalui penerbitan buku dalam tulisan Jawi dan menyebarkannya dalam segenap wahana, menanam sikap rasa bangga diri dalam kalangan masyarakat untuk menggunakan tulisan Jawi, meneruskan usaha pengajaran tulisan Jawi dari peringkat sekolah rendah hingga universiti dan memberikan peluang kepada pelajar sekolah\u00a0untuk menjawab soalan SPM dalam tulisan Jawi.\n\u201cTulisan Jawi merupakan satu warisan negara yang wajar dipelajari oleh masyarakat. Oleh itu, usaha untuk memartabatkan dan memugar tulisan Jawi sangat perlu bagi meningkatkan ilmu pengetahuan tentang kedudukan tulisan Jawi di negara serumpun\u00a0dan bagi memupuk rasa cinta akan tulisan Jawi\u00a0dalam kalangan masyarakat.\u201d\nDemikianlah antara penerangan yang diberikan oleh beberapa orang panel jemputan, iaitu Profesor Emeritus Dr. Muhammad Bukhari Lubis (Mantan Profesor UPSI, Malaysia), Profesor Muhammad Husnan Lubis (Universiti Sumatera Utara) dan YM Tuan Haji Mohammad Shahrol Azmi bin Abd Muluk (Timbalan Pengarah, Pusat Penyelidikan Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama, Seri Begawan, Brunei). Moderatornya pula ialah Dr. Rabahyah Tahir (Pensyarah IPG Kampus Pendidikan Teknik, Malaysia) yang bersiaran secara langsung (secara dalam talian) dalam program Bual Bicara Webinar Antarabangsa anjuran IPG Kampus Pendidikan Teknik, Bandar Enstek, Negeri Sembilan, yang bertajuk \u201cPemugaran dan Pelestarian Tulisan Jawi di Negara-negara Serumpun; Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam\u201d." "Utamakan Kesantunan Berbahasa dalam Penulisan Surat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kesantunan berbahasa merupakan elemen yang terpenting dalam penulisan dan pengucapan. Hal ini disebabkan kesantunan berbahasa yang diterapkan dalam penulisan dan pengucapan itu secara tidak langsung akan mempamerkan budi bahasa dan keluhuran pekerti bangsa. Seperti yang terjunjung tinggi dalam ikrar Rukun Negara, bahawa sesungguhnya bangsa Malaysia akur dan patuh pada pengaplikasian kesopanan dan kesusilaan dalam kehidupan.\nBaru-baru ini, kesantunan berbahasa turut diperkatakan dalam \u201cRancangan Sana Sini: Cakna Bahasa (Budi Bahasa dalam Surat)\u201d, iaitu sebuah rancangan bersiri yang banyak memberikan maklumat kebahasaan kepada seluruh rakyat Malaysia. Fokus perkongsian itu berkaitan dengan cakna bahasa yang tertumpu pada budi bahasa dalam surat. Tetamu undangan pada kali ini ialah Encik Zaidi Ismail, iaitu Perancang Bahasa, dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan rancangan ini dikendalikan sepenuhnya oleh Puan Ziana Nasir, iaitu Peneraju BERNAMA Radio.\nEncik Zaidi Ismail membuka tirai perkongsian bagi sesi rancangan pada kali ini dengan memberikan penjelasan yang berkaitan dengan jenis dan fungsi surat. Menurut beliau, sebelum adanya jaringan internet aplikasi seperti WhatsApp dan e-mel, penulisan surat menjadi media komunikasi utama yang menghubungkan semua pihak. Dalam hal ini, penggunaan penulisan surat sebagai media komunikasi utama lebih tertumpu pada penulisan surat tidak rasmi. Bagi urusan rasmi, surat masih digunakan hingga kini.\nPenggunaan penulisan surat rasmi mempunyai dua situasi. Yang pertama, surat rasmi untuk urusan peribadi. Walaupun situasinya peribadi tetapi format penulisannya menggunakan format penulisan surat rasmi. Bagi situasi kedua pula ialah penulisan surat rasmi organisasi.\nTambah beliau, jika dianalisis dari struktur penulisan surat rasmi, terdapat 14 elemen keseluruhan dalam sepucuk surat. Secara umumnya, dalam membezakan antara surat rasmi dengan surat tidak rasmi, sepucuk surat rasmi mempunyai \u201ckepala surat\u201d di bahagian atas dan bahagian bawahnya ada \u201cslogan\u201d, manakala rujukan yang digelar sebagai rujukan pengirim dalam surat tidak rasmi pula biasanya hanya menggunakan \u201cYang Benar\u201d sahaja.\nDalam surat rasmi khususnnya surat rasmi organisasi khasnya kerajaan, maka akan adanya rujukan diri pengirim. Contohnya, \u201cSaya yang menjalankan tugas\u201d bagi kakitangan awam. Yang terkini digunakan ialah \u201cSaya yang menjalankan amanah\u2019.\nBeliau turut menyatakan bahawa perbezaan yang paling ketara adalah melalui penggunaan sapaan atau rujukan hormat dalam penulisan surat rasmi. Isi kandungan surat rasmi memerlukan penulisan nombor, sementara bagi surat tidak rasmi hanya menggunakan pemerengganan sahaja.\nSelain itu, beliau juga berpendapat bahawa dalam penulisan surat rasmi, penerapan elemen budi bahasa sememangnya sudah ada dan telah dipraktikkan secara sendirinya melalui format yang sedia ada. Namun begitu,beliau sangat menyarankan agar penulisan surat tidak mengabaikan penggunaan tatabahasa.\nDalam surat rasmi sudah ada unsur budi bahasanya. Cuma dari segi tatabahasanya sahaja yang perlu ditambah baik.\nBeliau turut mengalakkan masyarakat untuk mendapatkan buku yang bertajuk Di Sebalik Kata dan Canggihnya Bahasa Melayu-Wacana Penulisan Rasmi terbitan DBP yang menyediakan panduan atau rujukan penulisan surat rasmi. Selain itu, DBP juga menyediakan bengkel atau kursus penulisan dokumen rasmi kepada jabatan atau organisasi yang ingin mendalami hal yang berkaitan dengan penulisan rasmi secara berpakej dan secara individu." "\u201cDaya Penulisan Kita Lebih Tajam daripada Lidah\u201d \u2013 Dato\u2019 Haji Jefridin Atan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPontian \u2013 \u201cDi samping kita melihat dan mengamati lambang kemodenan dunia dalam karya puisi, penting untuk kita ambil tauladan dan penghargaan akan anugerah ekosistem dan alam semula jadi negara,\u201d sebut Ybhg. Dato\u2019 Zainal Abidin Borhan pada malam penutup Hari Puisi Nasional (HPN) ke-21.\nUpacara sastera dan puisi itu dilangsungkan di Tanjung Piai Resort, Kukup, Pontian yang menjadi tempat perrtemuan terakhir para tetamu Hari Puisi Nasional dalam Malam Jubli Emas, pada 30 Oktober 2021 (Sabtu), 8.30 malam.\nDato\u2019 Zainal Abidin yang juga Ketua Satu GAPENA malam itu menjelaskan peranan puisi untuk mengangkat sejagat bangsa, juga (puisi yang) mampu untuk menanam benih semangat melestarikan alam sesebuah bangsa itu sendiri.\nSemangat ini juga diangkat oleh Dato\u2019 Haji Jefridin Atan, senator Ahli Dewan Negara, yang merasmikan Malam Jubli Emas HPN-21, dengan menyuarakan rasa penghargaan kepada penganjur yang memilih bumi Tanjung Piai sebagai gelanggang berfikir dan merancang masa depan kepenyairan negara.\n\u201cTanjung Piai ialah sebuah kampung nelayan, yang puluhan tahun sudah didiami dan diusahakan, namun pembangunannya amat perlahan. Masyarakat di sini masih mengamalkan amalan pertanian secara tradisional, malah belum ada yang membuka ladang atau perusahaan yang cukup besar, yang mampu mengubah roh dan cara kehidupan mereka,\u201d jelas Dato\u2019 Jefridin.\nBeliau menyatakan juga harapan bahawa dengan kehadiran GAPENA dan tokoh-tokoh kepenyairan negara di bumi Tanjung Piai itu bersempena HPN ke-21, akan membawa satu semangat dan wacana yang memberi jiwa baharu untuk masyarakat di situ.\nDato\u2019 Jefridin juga mengambil peluang untuk menyuarakan peringatan bahawa kerajaan Malaysia harus mempunyai pertimbangan yang sewajarnya dalam mengusahakan pembangunan fizikal negara, dengan pembangunan manusiawi.\nBeliau menegaskan, jangan mudah terpengaruh dengan pembangunan fizikal yang pesat, sehingga lupa akan akar budaya. Contohi negara jiran dalam usaha memartabatkan bahasa mereka. Dalam hakiki perbahasan hari ini, beliau tidak menafikan bahawa bahasa Inggeris ialah bahasa berwajah antarabangsa, tetapi jangan sesekali dilupakan usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu.\n\u201cKita sudah membangun berdekad-dekad lamanya, tetapi kenapa ada yang tidak yakin dengan bahasa kita? Kenapa kita perlu guna bahasa lain untuk membangunkan negara kita?\u201d Dato\u2019 Jefridin mempertikaikan keputusan sesetengah sektor yang menolak kalangan yang kurang mahir dalam bahasa Inggeris, sedangkan latar pendidikan mereka dirakam sebagai cemerlang, seperti dalam bidang sains kemanusiaan atau sastera dan bahasa Melayu. Sedangkan, sesetengah sektor itu sendiri hanya berkhidmat di kawasan-kawasan kampung dan rakyat Malaysia yang berbahasa Melayu.\nPenulis-penulis harus peka dan kritis terhadap kemaslahatan masyarakat mereka, kerana menurut Jefridin, \u201cdaya penulisan kita lebih tajam darpada lidah\u201d. Tambahnya lagi, jiwa seorang pemuisi ini halus, yang memperlihatkan jiwa dan maksud antara alam dengan manusia, malah mempunyai sudut pandang yang berbeza tentang perjuangan alami.\nDato\u2019 Jefridin berharap agar puisi bergerak maju dan akan terus mempertahankan bahasa dan bangsa budaya negara.\nAcara pengucapan puisi pada Malam Jubli Emas dilaksanakan oleh deklamator-deklamator yang terdiri daripada tokoh mutakhir kepenyairan negara, dimulakan dengan persembahan Puisi Rejang oleh Mohd Rafizi dan Norhazila Ahmad Kamsi, disusuli deklamasi puisi oleh penerima Anugerah Puisi Nasional, Mahaya Mohd. Yassin, lalu Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan membawa puisi \u201cPermainan Apakah Ini\u201d. Kemudian, Datin Sri Haryani Haron membawa puisi \u201cMenuntun Si Merdeka\u201d nukilan Awang Sariyan, lalu Dr. Shamsudin Othman membawa puisi-puisi nukilan beliau. Setelah itu, Norliza Haji Md Yamin pula membawa sebuah syair berirama Berdondong yang digabungkan dengan irama Ayuhai, dan beberapa lagi persembahan deklamasi daripada tokoh penyair.\nMalam Jubli Emas yang merupakan acara penutup Hari Puisi Nasional ke-21 itu menyaksikan sebuah pentas wacana yang mengangkat peranan ranah kepuisian negara, titik temu dan pertembungan pemikir-pemikir puisi negara dan juga sebagai sebuah ruang penghargaan buat tiga penyair prolifik dalam ranah sastera tempatan, Ahmad Sarju, Mahaya Mohd Yassin dan Shapiai Muhammad Ramly yang menerima Anugerah Penyair GAPENA 2021.\nAcara malam itui juga ditayangkan secara langsung di Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka, yang boleh ditonton di sini." "Masyarakat Generasi Baharu Pemartabat Puisi Tradisi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cPuisi baharu itu bersifat (bentuk dan gayanya) bebaslah, manakala puisi lama, puisi tradisi pula bentuk serta sifatnya sama. Masyarakat dahulu, budaya dan tradisi mereka memiliki semangat komunal (kekitaan), maka bentuk-bentuk puisi lama atau puisi tradisional berada dalam satu jalur dan bentuk yang sama, kerana masyarakat Melayu terdahulu tidak keluar daripada kalangan kelompok masyarakat mereka. Berbeza pula daripada masyarakat moden hari ini yang memiliki sifat individualiti yang kuat,\u201d jelas Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, dalam Wacana PENA yang diadakan secara dalam talian pada 5 November (Jumaat) 2021 lalu.\nMohamad Saleeh Rahamad sebagai panel tetap wacana, disertai bersama dua panel jemputan, iaitu pertamanya seorang tokoh penyair yang prolifik, Roslan Madun, serta penggiat muzik, sastera dan syair dari Tanjungpinang, Indonesia, Muhammad Febriyadi. Wacana PENA ke-13 kendalian Mohd Khair Ngadiron minggu itu membincangkan tajuk \u201cPuisi Tradisi: Kelam atau Gemilang?\u201d.\nMuhammad Febriyadi yang juga digelar sebagai \u201cPenyair Muda\u201d di Tanjungpinang menyatakan bahawa anak muda di Tanjungpinang merupakan antara pencetus semangat dan semarak yang melestarikan puisi-puisi lama dalam kalangan masyarakat tempatan beliau.\nMenurutnya lagi, memang dirasai dan terlihat kemunculan gerakan serta gagasan yang kuat daripada inisiatif anak-anak muda di sana bagi mengukuhkan lagi kewujudan budaya puisi tradisi (atau puisi lama) dalam kalangan masyarakat Tanjungpinang.\n\u201cAnak muda di Tanjungpinang dengan tenaga dan semangat yang luar biasa mereka berjaya mengangkat budaya ini dengan inisiatif kolaborasi puisi tradisi dengan puisi moden, serta menumpukan tumpuan untuk menarik minat orang-orang muda ke dalam puisi, kerana setelah minat barulah kita boleh memupuk pula semangat kecintaan pada puisi-puisi lama. Setelah adanya perasaan cinta, barulah kegiatan melestarikan akan terlaksana,\u201d jelas Febriyadi.\nSementara itu, Roslan Madun juga bersetuju dan menyambut mesra inisiatif anak muda yang besar peranannya dalam memulihara dan memperkembangkan budaya puisi tradisi negara.\nPerkembangan dan perjalanan puisi dalam kalangan anak muda sangat menarik untuk diperhatikan kerana jiwa mereka yang gemar menjelajah dan meneroka menghasilkan sebuah reaksi atau pengucapan puisi-puisi tradisi mengikut pendekatan mereka.\n\u201cIni zaman dan dunia mereka (generasi muda), maka kita harus raikan selera mereka, inisiatif mereka, malah menggalakkan mereka untuk merubah irama dalam puisi tradisi, demi menyuburkan jiwa mereka dalam puisi tradisi,\u201d tambah Roslan.\nKatanya lagi, \u201corang lama mungkin harus pantau\u201d kerana asalkan perubahan itu tidaklah sehingga melenyapkan identiti puisi tradisi, inisiatif sebegini wajar diraikan.\nInisiatif seumpama ini dapat dilihat dengan usaha-usaha aktivis puisi dan sastera melalui media sosial, seperti berucap dan menyebarkan puisi-puisi tradisi buat pelayar-pelayar media sosial. Fenomena puisi tradisi yang diserap ke platform moden ini malah meluaskan lagi bentuk-bentuk, reaksi dan gaya penerimaan puisi tradisi dari segi irama, nada dan rona puisi.\nDalam hal ini, Saleeh Rahamad amat mengangkat usaha dan fenomena ini. Berdasarkan pemerhatian beliau, jika puisi-puisi tradisi itu hanya kekal dalam satu irama sahaja, dinamika puisi itu akan terencat. Hal ini kerana, generasi muda akan timbul rasa untuk membentuk ciptaan mereka sendiri melalui karya-karya puisi tradisi yang mereka cintai.\n\u201cAsalkan ia tidak merubah, merendahkan atau menghancurkan maknanya, ia tidaklah salah,\u201d tambah Saleeh.\nRoslan Madun juga menekan bahawa, untuk memastikan kejayaan mengangkat puisi tradisi, sokongan pihak-pihak lain adalah sangat utama dan penting. \u201cTanpa sokongan pihak luar, mustahil usaha kebudayaan ini akan menemui kejayaan,\u201d ujarnya.\nTonton wacana penuh di sini." "Mengenang Allahyarham Kemala (Siri 2): Sasterawan Negara Dato\u2019 Dr. Anwar Ridhwan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPemergian Allahyarham Kemala amat mengejutkan banyak pihak termasuklah Sasterawan Negara, Dato\u2019 Dr. Anwar Ridhwan yang begitu akrab dengan beliau sewaktu mereka bersama-sama bertugas sebagai pengarang di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nWalaupun saya dapat berita bahawa kesihatannya tidak berapa memuaskan, namun tidak menyangka keadaannya begitu serius yang membawa pada pemergiannya untuk selama-lamanya.\nDemikian luahan hati Dato\u2019 Dr. Anwar Ridhwan sewaktu diwawancara oleh sidang editor Bahagian Majalah DBP baru-baru ini.\nMenurut Dato\u2019 Dr. Anwar Ridhwan, selain menghasilkan karya terutamanya puisi berunsur Islam, Dato\u2019 Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali sebagai Kemala banyak memberikan sumbangan dalam penerbitan majalah dan melahirkan para penyair tanah air.\nDato\u2019 Ahmad Kamal lebih pada penerbitan majalah dan banyak isu majalah yang menarik yang telah beliau angkat, begitu juga dengan membimbing penulis-penulis muda khususnya dalam bidang puisi. Saya kira ini jasa Dato\u2019 Ahmad Kamal yang sangat besar, iaitu sebagai pembimbing, sebagai mentor kepada penyair-penyair muda yang sekarang ini telah menjadi penyair terkenal.\nYang pasti, setelah menghembuskan nafasnya yang terakhir, bermakna tinta pena Kemala juga terhenti dalam memberikan sumbangan karya kepada dunia sastera. Namun demikian, hasil karya nukilan Kemala pastinya akan terus \u201chidup\u201c untuk tatapan generasi hari ini dan akan datang serta akan terus bersemarak dalam dunia kesusasteraan tanah air, sepertimana semaraknya semangat Kemala dalam berkarya semasa hayatnya.\nSemoga Allahyarham Dato\u2019 Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang soleh." "Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan Terus Tekal dan Antarabangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cSeni Mengindahkan Kehidupan\u201d ialah topik perbualan program Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan 14.0 dengan karyawan multibakat Dr. Lim Swee Tin pada 13 Nov lalu, pada jam 9.00 malam melalui aplikasi Zoom dan dipancarkan ke Facebook PEMUISI Berkarya, Pusat Budaya UUM dan Dewan Bahasa dan Pustaka.\nProgram gandingan kerjasama antara Alumni Bengkel Puisi Merdeka, Pusat Budaya dan Seni, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) serta sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berjaya dilaksanakan secara konsisten setiap bulan sejak Oktober tahun lalu.\n\u201cKesan daripada pandemik sejak tahun lalu telah mencetuskan fenomena seni dalam talian dan ia satu usaha yang lebih praktikal kerana peserta dari pelbagai negara dapat menyertainya tanpa perlu berada di satu lokasi secara fizikal,\u201d ujar Pengarah Program dan Presiden Alumni Bengkel Puisi Merdeka, Harlym Yeo.\nHarlym berkata, antara objektif acara ini adalah bertujuan untuk mengantarabangsakan puisi Melayu ke persada global.\n\u201cMelalui acara sebegini, dapatlah penggemar sastera membugarkan rasa cinta sekali gus menggalakkan penggunaan bahasa Malaysia pada peringkat serantau dan antarabangsa,\u201d katanya.\nTurut menyerikan acara ini ialah Sasterawan Negara (SN) Dato\u2019 Dr. Zurinah Hassan, Dr. Lim Swee Tin, Ahmad Sarju, Awang Abdullah, dan Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail.\nSelain penyertaan dari Malaysia, sebanyak lima buah negara yang turut memeriahkan acara deklamasi puisi kali ini. Program kali ini melibatkan penyertaan dari negara Brunei Darussalam, Indonesia, China, Belanda, dan Singapura. Antara peserta antarabangsa yang turut menyemarakkan program ini melalui persembahan puisi masing-masing termasuklah Sastri Bakry dari Indonesia yang mendeklamasikan \u201cDesa Ponggok\u201d, Sosonjan A. Khan dari Brunei dengan \u201cDi Bawah Bendera Kemanusiaan\u201d, Sita Aulliya dari Belanda dengan \u201cCamar Yang Pulang\u201d, dan pasangan suami isteri Sam Sumardi dan Ratnasam Sib II dari Singapura dengan \u201cCinta\u201d. Manakala wakil mahasiswa Sichuan International Studies University, China, Pi Jiayi dan Li Kecheng bersama pensyarah mereka Hanna Aleesya.\nMenurut Pengarah Pusat Budaya dan Seni, UUM, Asmawiza Haji Hussin, beliau mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama daripada pelbagai pihak, dari luar dan dalam negara dalam usaha menyemarakkan budaya dan seni agar UUM kekal relevan dengan peredaran semasa dan terus menyumbang bakti demi menyahut hala tuju Malaysia menjadi negara maju dan rakyat berbudaya, sekali gus mendukung Dasar Kebudayaan Negara 2021 (atau DAKEN 2021) dalam usaha mengukuhkan tamadun seni negara.\nMenurut salah seorang peserta dari Malaysia, karyawan kelahiran negeri Kelantan Pui Tiong [email\u00a0protected] Abdullah yang turut mendeklamasikan puisi \u201cTiga Bahasa\u201d berganding dengan Siti Nutdyamila Ayob dan Nurul Syahzuaniey Ayuniey Mazelan, program ini sangat bagus, bermula dengan cogan kata sehingga pengisian, ada acuan yang tersendiri dengan jaringan global yang hebat.\nManakala SN Dato\u2019 Dr. Zurinah Hassan yang memberi sokongan dan mengambil bahagian secara konsisten pada setiap program menunjukkan kekagumannya tentang penganjuran program tersebut. \u201cKalau tiada pandemik tidak wujud peluang seperti ini. Bahkan mungkin tak difikirkan,\u201d ulas Zurinah.\nZurinah mendeklamasikan puisi beliau yang berjudul \u201cHujan di Kuala Lumpur\u201d sebagai pembuka tirai persembahan pada slot pertama.\nPeserta dari Indonesia, Sastri Bakry berkata, \u201cPersatuan PEMUISI tidak sahaja fokus berkarya tetapi juga memberi tumpuan kepada misi membina, memotivasi dan mendorong yang muda-muda untuk berkarya\u201d.\nUjar beliau lagi, perpaduan senior dan junior, profesional dan pemula menjadi daya tariknya.\n\u201cTerus terang dulu saya hanya berfikir sekali bererti setelah itu mati. Alhamdulillah, ternyata dugaan saya salah. Tetap semangat, konsisten dan fokus sampai dunia kiamat,\u201d sambung Sastri lagi.\nMenyentuh tentang paduan tenaga profesional dan pemula serta tradisional dan moden, program Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan 14.0 ini berjaya menampilkan gabungan tenaga pensyarah dan mahasiswa dari Sichuan International Studies University, China.\nPenampilan Hanna Aleesya pada awal rancangan melalui lagu Tenang berirama moden dengan Beat Kosong \u2013 I Love You, dan persembahan tradisional dikir barat sebagai penutup tirai daripada kumpulan mahasiswa beliau, The Dikir SISU dengan penampilan Cikgu Hanna.\nSelain itu, Pi Jiayi dan Li Kecheng, pelajar yang baru belajar bahasa Melayu selama setahun dua bulan dengan masing-masing mempersembahkan karya sendiri berjudul \u201cSeekor Kambing, Seingatan Saya\u201d dan \u201cSekeping Ingatan\u201d menarik perhatian penonton dengan kelancaran dan penghayatan mereka mengarang dan mendeklamasikan puisi.\nMenerusi program kali ini, Ahmad Sarju juga ditonjolkan atas pengiktifan beliau baru-baru ini sebagai penerima Anugerah Penyair GAPENA 2021. Slot pertama bual bicara ini menyelitkan pengalaman dan motivasi beliau yang sudah berkecimpung selama 60 tahun dalam bidang kesusasteraan tanah air. Beliau juga mengambil kesempatan ini membacakan pantun berjudul \u201cBudi Dijunjung\u201d dan \u201cPantun untuk Penulis Johor\u201d.Presiden PEMUISI, Dato\u2019 Dr. Radzuan Ibrahim yang juga turut mengalunkan sajak karya beliau berjudul \u201cSastera Bangsa\u201d sewaktu diminta memberikan reaksi buat program yang sudah 14 kali diadakan pada setiap bulan menyatakan sokongan padunya pada setiap edisi program ini.\n\n\u201cProgram ini cukup bermanfaat dengan pengisian yang sangat baik dan penglibatan pemuisi-pemuisi aktif dari dalam dan luar negara. Ditambah lagi dengan slot bual bicara yang menampilkan tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang, sudah tentu memberi nilai tambah yang amat bermakna, khususnya memberi input yang besar dalam kalangan para pelajar universiti.\u201d\nPerkongsian ilmu dalam slot bual bicara kedua selama lebih lima puluh minit mengutarakan tajuk berkaitan \u201cSeni Mengindahkan Kehidupan\u201d bersama sasterawan dan budayawan Dr. Lim Swee Tin.\nDr. Lim menyeru pengkarya agar menghasilkan karya yang baik dan bermutu. Katanya, \u201cBukan melalui nilai-nilai yang melulu, bukan terus terang atau secara terang-terangan kerana karya yang baik dan indah ialah karya yang mendukung falsafah dan pemikiran yang tinggi. Ia boleh membawa bahasa kita ke aras yang lebih terpuji dan tersanjung.\u201d\nBual bicara kali ini mencakupi pengertian tentang seni mengindahkan kehidupan, penciptaan seni sebagai sebahagian daripada kehidupan manusia, penghayatan jiwa dalam memahami keindahan, dan pengekalan nilai estetika dalam sesebuah karya.\nNasihat Dr. Lim kepada penonton agar menghasilkan karya sastera yang dapat membijaksanakan setiap orang. Karya yang mampu membina dan membawa perubahan yang lebih baik dan positif kepada khalayak pembaca dalam kerangka menjana peralihan peradaban yang membina tamadun supaya menjadi lebih gemilang.\nTambah beliau, \u201cPuisi memerlukan acuan seumpama ini. Puisi itu sendiri hakikatnya dirasai, selain difahami\u201d.\nPeserta lain yang turut mewarnai acuan progam kali ini termasuk nyanyian lagu puisi daripada Exco PEMUISI Yuzailan Yunus melalui karya tulisan Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Seloka Rakyat, Rusdi MN dengan karya sendiri berjudul \u201cMusafir Yang Berfikir\u201d, Ratu Rugu Rugu memberi pesanan kepada khalayak melalui karya Harlym Yeo berjudul \u201cWarisan Merdeka\u201d, Setiausaha KEMUDI Nurul Syahida Hassan dengan judul \u201cTunas Merdeka\u201d karya Roslan Mohamed Noor, dan Hanis A.M mempersembahkan puisi sendiri berjudul \u201cBacalah\u201d.\nManakala pengacara majlis Harlym Yeo dan Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail masing-masing mendeklamasikan puisi karya Dr. Lim Swee Tin berjudul \u201cPerebutan\u201d dan \u201cKota Baca\u201d.\nDeklamasi Puisi Panorama Kehidupan 15.0 edisi bulan Disember dijangka akan bersiaran pada 12/12/2021, Ahad, 9.00 malam menerusi pelatar Zoom dan dipancarkan ke Facebook PEMUISI Berkarya, Pusat Budaya UUM dan Dewan Bahasa dan Pustaka.\n\nTonton program penuh di sini." "Sastera Membahagiakan Jiwa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013\u00a0Pandemik yang melanda dunia pada awal tahun 2020 sehingga ke hari ini, ternyata tidak menoktahkan keaktifan Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) daripada menghasilkan enam penerbitan bagi karya-karya penulis yang bernaung di bawahnya.\u00a0 Antologi Anekdot Travelog, Antologi Puisi Suara Jiwa Buat Palestin, Antologi Cerpen Tasbih Tujuh Butir, Antologi Senyuman Momen Indah Sepanjang Jalan, Antologi Puisi Wajah di Kanvas, dan Antologi Puisi Kasih Hingga ke Syurga berjaya dilancarkan pada Majlis Penyampaian Hadiah, Sayembara Penulisan Kreatif negeri Kelantan 2021 dan Pelancaran Antologi terbitan GEMA di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), Kota Bharu, Kelantan pada 13 November 2021.\nAtas penerbitan yang amat memberangsangkan ini, YB. Mejar (B) Dato\u2019 Hj. Md. Anizam Ab. Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan, telah menzahirkan falsafah bahawa sastera mampu membahagiakan jiwa kerana gemerlapan karya-karya penulis yang diraikan dalam majlis ini umpama \u201cbintang-bintang di langit\u201d.\nSelain itu, beliau turut berkongsi tentang rancangan Kerajaan Negeri Kelantan dan Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK) dengan kerjasama persatuan-persatuan sastera dan budaya di negeri Kelantan untuk menganjurkan Hari Sastera Negeri Kelantan pada tahun hadapan yang menyasarkan penyertaan para pelajar sekolah, siswa/siswi institusi pengajian tinggi (IPT) dan umum dalam menyegarkan usaha-usaha menyemarakkan kegiatan sastera dan budaya di negeri \u201clubuk sastera\u201d ini.\nYB Mejar (B) Dato\u2019 Hj. Md. Anizam juga turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Sayembara Penulisan Kreatif Negeri Kelantan 2021. Penulisan Kategori Cerpen menobatkan karya penulisan Nor Anita Salleh yang bertajuk \u201cTasbih Tujuh Butir\u201d sebagai Johan, \u201cMenunggu Tuah\u201d oleh Nik Zainun Nik Abu Bakar sebagai Naib Johan dan Wan Fatimah Sofea dengan cerpen bertajuk \u201cPada Kesempatan Kali Ini\u201d pada tempat ketiga. Manakala bagi Penulisan Kategori Puisi, Umi Solehah menjadi Johan dengan puisi yang bertajuk \u201cBeta Puteri Dikhianati Arjunanya\u201d, dengan diikuti oleh Ruzilawati Man dengan \u201cMawar Hilang Duri\u201d dan \u201cPohon Sastera di Taman Tamadun Bangsa\u201d oleh Anuar Salleh pada tempat ketiga. Semua pemenang menerima hadiah wang tunai dan sijil penghargaan daripada pihak penganjur.\nMajlis turut dimeriahkan dengan kehadiran YBrs. En. Muhammad Ikhram Fadhly Hussin, Ketua Unit Sastera dan Penerbitan, yang mewakili Pengarah DBPWT, penulis-penulis negeri Kelantan yang berbangsa Melayu, Cina dan Siam, serta beberapa orang wakil persatuan penulis sebagai tanda sokongan. Majlis turut diserikan dengan persembahan-persembahan bacaan cerpen dan puisi oleh para pemenang sayembara pada penghujung acara." "Obor Sastera Kemala Setia Bernyala\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRaja Rajeswari Seetha Raman mengenangkan jasa dan tunjuk ajar \u201cadiguru\u201dnya, Allahyarham Sasterawan Negara Dato\u2019 Dr. Ahmad Khamal Abdullah yang memekarkan jalan hidup sasteranya.\nTanpa suntikan inspirasi daripadanya, mustahil aku boleh mengharungi samudera sastera yang bergulung-gulung gelombangnya.\nKenangan berenang memintas samudera masa dan menghidupkan mutiara kisah tatkala aksara setia ini mengambil tempat di atas helai-helai putih. Rimbunan kenangan yang terkumpul dalam pangkal akal terlerai, helai demi helai, memasyhurkan pengorbanan indah dan mewah pujangga tersohor dunia yang kini telah kembali ke negeri abadi. Jasa Adiguru Allahyarham Sasterawan Negara Dato\u2019 Dr. Ahmad Khamal Abdullah yang lebih dikenali sebagai Kemala, yang melakar sejarahku dalam mandala sastera kebangsaan dan sastera antarabangsa, tidak terperi lagi budinya. Dialah Adiguru yang meletakkan batu asas dalam perjalanan perpuisian, penyelidikan dan penterjemahan diri ini.\nLaksana suratan takdir, segala-galanya bermula tatkala aku bergelar calon siswazah di Universiti Pertanian Malaysia (UPM, kini Universiti Putra Malaysia) pada tahun 1995. Rupa-rupanya, pertemuan aku dengan Adiguru telah diaturkan oleh Pencipta Alam Semesta ini. Jika tidak mustahil, puteriku yang dijadualkan melihat dunia pada bulan Julai 1994 diawalkan kelahirannya pada bulan Mei, dua bulan lebih awal daripada tarikh asal, yakni pada usia tujuh bulan tujuh hari, lalu terbit hasrat dalam kalbuku untuk menukarkan opsyen asal daripada Pengajian Inggeris kepada Pengajian Melayu, daripada Fakulti Pengajian Pendidikan kepada Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) UPM pada tahun berikut, yakni tahun 1995. Bukankah ini namanya suratan takdir?\nAda hikmah tersendiri dalam caturan Yang Maha Esa. Tatkala menjadi calon siswazah di FBMK UPM, aku aktif dalam Persatuan Gapura Kreatif yang menyuburkan cinta akan sastera kebangsaan dalam sukma calon siswazah yang bakal menggalas amanah sebagai pendidik melalui pelbagai program sastera peringkat universiti. Dengan aturan-Nya pada tahun 1995, Gapura Kreatif UPM yang masih muda dari segi usia, telah berkolaborasi dengan Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia (PKBM) di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menjayakan pelbagai aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan dalam kalangan siswa siswi UPM.\nPada tahun 1995, Adiguru Allahyarham Kemala menggalas amanah sebagai Presiden Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia (PKBM). Takdir yang menemukan kami dalam suatu majlis sastera di UPM apabila aku dipilih untuk mendeklamasikan puisi di pentas UPM. Seusai mendeklamasikan puisi, hati melonjak megah menatap wajah pujangga yang sekian lama menjadi dambaan jiwa sesudah menghayati larik-larik puisi sufi dalam buku puisi Meditasi (1972) yang memiliki tingkat intelektual dan falsafah yang tinggi.\nPenghayatan puisi sufi dan puisi Islamik tidak pernah menjadi suatu hambatan kepadaku kerana subjek-subjek yang berteraskan Islam, seperti Tasawur Islam, Tamadun Islam, Sejarah Islam, dan Sistem Tulisan Jawi ialah subjek yang dikaji dan diperhalusi untuk peperiksaan awam pada dekad 1970-an. Pemilihan subjek berteraskan Islam meluaskan horizon penghayatan sastera sufi. Aku dapat membaca mata fikir dan mata batin Adiguru Allahyarham Kemala dalam larik-larik puisi Meditasinya.\nTatkala cek sulung dihulurkan oleh Adiguru Allahyarham Kemala seusai mendeklamasikan puisi, nikmat jiwa tidak tersukat, bukan kerana ganjaran diterima tetapi kerana berpeluang bertemu tokoh yang sekian lama digeruni. Bukankah pertemuan rasmi ini juga percaturan Yang Maha Berkuasa?\nKata-kata tahniah yang melompat dari mulut Adiguru Allahyarham Kemala amat bernilai bagi diriku yang masih hijau dan mentah tatkala itu. Masih segar dan subur dalam minda, rona kad nama merah jambu yang dihulurkan dengan pesanan menghubunginya sesudah segulung ijazah menjadi milikku.\nAku digelar \u2018nomad\u2019 kerana tidak memiliki \u2018rumah\u2019 dan karya eceran bertebaran di jalanan, laksana nomad yang berkelana tanpa hala tuju dan destinasi.\nHari bersilih ganti dan sesudah bergelar graduan, aku mula aktif berkarya dan mengirim sajak ke media cetak arus perdana. Seusai karya tersiar, aku dilamar oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai AJK Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia (PKBM) pada tahun 1998.\nRuang dan peluang berguru dengan Adiguru Allahyarham Kemala terbentang panjang sesudah menerajui barisan kepemimpinan PKBM. Suntikan inspirasi dan motivasi yang tidak lekang daripada bibir Adiguru Allahyarham Kemala bukan sahaja menyemarakkan semangat untuk terus mempertingkatkan kualiti karya, malahan menghimpun keyakinan dalam diri untuk terus berkarya secara konsisten dengan idiosinkrasi tersendiri.\nMeskipun sajak telah menemui khalayak pembaca, namun tidak terdetik hasrat demi menghimpunkan koleksi sajak dalam sebuah buku kerana tidak diketahui akan manfaat mengumpulkan nukilan sendiri dalam sebuah koleksi. Sehinggalah pada suatu hari, Adiguru Allahyarham Kemala secara berseloroh memanggilku sebagai \u201cnomad\u201d. Aku digelar \u201cnomad\u201d kerana tidak memiliki \u201crumah\u201d dan karya eceran bertebaran di jalanan, laksana nomad yang berkelana tanpa hala tuju dan destinasi. Usikan itu membakar semangat untuk menerbitkan koleksi puisi sulung seperti penulis lain yang telah memiliki rumah dalam ranah sastera kebangsaan.\nDengan jasa mulia Adiguru Allahyarham KEMALA, lahirlah kumpulan puisi sulung Mekar Bunga pada tahun 2006. Malah, Adiguru Allahyarham yang memilih Mekar Bunga sebagai judul koleksi puisi sulungku. Kesudian Adiguru Allahyarham menulis kata pengantar untuk buku sulung Mekar Bunga dan melancarkannya di Laman Karyawan DBP telah mengubah kedudukanku dalam landskap sastera kebangsaan setelah sekuntum puisi daripada koleksi tersebut terpilih untuk menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada tahun 2006/2007.\nDalam mandala penulisan deskriptif, jasa mewah pujangga Allahyarham Kemala sukar dihitung kerana jasa-jasanya agak panjang. Sesudah menjadi ahli, AJK dan Setiausaha Agung NUMERA (Persatuan Sasterawan Nusantara Melayu Raya) yang diasaskan oleh Adiguru Allahyarham KEMALA, laluan untuk membentangkan kertas kerja pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa terbuka luas dan aku berpeluang menjadi pemakalah pada peringkat negeri, kebangsaan dan di beberapa buah negeri luar, termasuklah Bangladesh, Bandung, Jogjakarta, dan Jakarta atas jasa murni Adiguru. Sesudah nama bersinar sebagai pemakalah, maka tawaran dan undangan diterima daripada pelbagai pihak untuk program sastera anjuran mereka, baik di dalam negara mahupun di luar negara. Laluan yang dirintis atas inisiatif Adiguru Allahyarham memudahkan aku mencipta nama di persada antarabangsa.\nBidang penterjemahan juga memiliki senario yang sinonim. Meskipun sudah lama bergelar penterjemah, namun ruang dan peluang yang ditawarkan oleh Adiguru Allahyarham Kemala untuk menterjemahkan koleksi puisi penyair tersohor Bangladesh, Aminur Rahman berjudul Diari Abadi (2016) serta himpunan puisi penyair Bangladesh di bawah judul 6 Penyair Bangladesh (2016) sesudah mendapat lesen sebagai penterjemah bertauliah daripada Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), telah melonjakkan kegemilangan diri dalam persada penterjemahan antarabangsa apabila kaedah terjemahan penulis dalam koleksi puisi Diari Abadi dikaji oleh sarjana Indonesia, Siamir Marulafau dengan judul \u201cA Study on Translation in Aminur Rahman\u2019s Poetry Writings by Raja Rajeswari Seetha Raman\u201d yang terpilih sebagai kajian Scopus terbaik untuk menerima anugerah antarabangsa daripada IASET (International Academy of Science, Engineering and Technology), Amerika Syarikat.\nPengiktirafan IASET telah melayakkan diri ini sebagai penterjemah berwibawa untuk menterjemahkan puisi penyair tersohor dunia untuk majalah digital Point Editions di Sepanyol dan blog Poetry Bridges di Poland pada tahun 2018. Sesudah warga dunia berkeyakinan dengan kaedah penterjemahanku, majalah digital Bharath Vision di India telah melantikku untuk menterjemahkan puisi terbaik warga dunia dalam bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu untuk bacaan peminat puisi. Semua penghormatan dan pengiktirafan ini tidak mungkin menjadi milikku jika batu asas tidak diletakkan oleh Adiguru Allahyarham Kemala. Mutiara kata Adiguru Allahyarham Kemala agar aku kekal sebagai pencipta dan penterjemah puisi kerana ketelitian dan kebijaksanaan dalam memilih diksi puisi membakar semangat untuk memantapkan kualiti karya dari semasa ke semasa.\nPengiktirafan tertinggi sebagai Tokoh Srikandi NUMERA pada tahun 2018 atas sumbanganku mengantarabangsakan bahasa dan sastera kebangsaan di peringkat dunia telah menyemarakkan semangat untuk terus melebarkan sayapku. Azam dan iltizam, kata kunci yang sering meniti di bibir Adiguru Allahyarham Kemala dijadikan kata-kata azimat dalam mengharungi rintangan, baik dalam bidang penyelidikan mahupun dalam bidang penterjemahan.\nSetelah ratusan puisi penyair tersohor dunia diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris untuk bacaan warga dunia, maka aku mula memperkukuh kedudukan dalam sastera antarabangsa sebagai penterjemah dengan mengirim nukilan puisi untuk penerbitan berwibawa di Amerika Syarikat, Mesir, Uzbekistan, India, Hong Kong, China, New Zealand, Portugal, Seychelles, Bangladesh, Romania, Sepanyol, dan Poland. Sehingga kini, puisiku telah menembusi sekitar 37 bahasa dunia yang melayakkan aku sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Ikon Sastera Antarabangsa (2018) daripada Persatuan Sastera Kontemporari Amlor, Uttar Pradesh, India.\nDaripada seorang individu kerdil yang tiada apa-apa nama dalam persada sastera kebangsaan, aku kini diterima sebagai ahli World Nations Writers\u2019 Union (WNWU) kerana jasa Adiguru Allahyarham Kemala. Pertemuan aku dengan Adiguru Allahyarham sesungguhnya ada hikmah tersembunyi yang terlerai sudah sesudah tiga dekad. Tanpa suntikan inspirasi daripadanya, mustahil aku boleh mengharungi samudera sastera yang bergulung-gulung gelombangnya.\nPelantikanku sebagai Penasihat Kanan Kesusasteraan Melayu dan Terjemahan bagi Malaysia dan ASEAN pada tarikh keramat 16 September 2021, Hari Malaysia, sememangnya ada hikmah yang tersendiri. Satu-satunya aspirasi Adiguru Allahyarham Kemala yang belum terealisasi adalah untuk melihat pengantarabangsaan sastera kebangsaan di seantero dunia. NUMERA diasaskan demi melebarkan sayap sastera kebangsaan ke seluruh pelosok dunia. Kini, tanggungjawab tersebut jatuh atas pundakku sebagai anak didik Adiguru Allahyarham yang bakal merealisasikan aspirasi mahaguruku, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka.\nAdiguru Allahyarham Kemala telah kembali kepada Pencipta Alam Semesta. Misteri pertemuanku dengan Adiguru Allahyarham tiga dekad yang lalu terlerai sudah. Tiada apa-apa yang berlaku secara kebetulan di dunia ini. Segala-galanya berlaku mengikut perancangan-Nya. Obor sastera yang dihidupkan olehnya akan setia bernyala. Semoga bakti dan budi sastera Adiguru Allahyarham Kemala kepada pertiwi tidak terhenti selepas ketiadaannya lagi. Sama-sama kita doakan.\n_________________________\nRaja Rajeswari Seetha Raman ialah bekas pensyarah, penyair, penterjemah, penyelidik puisi, dan AJK NUMERA." "Shahnon Ahmad: Anak Desa Menggapai Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSik \u2013 \u00a0YAB Dato\u2019 Seri Haji\u00a0 Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah berkelapangan menyempurnakan pelancaran buku Biografi Sasterawan Negara Shahnon Ahmad: Anak Nan Bertuah karya Profesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Mohd Yusof Hasan yang telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Umum mengetahui bahawa Shahnon Ahmad merupakan penerima Anugerah Sasterawan Negara (SN) yang kedua pada tahun 1982 atas sumbangan besar beliau dalam dunia sastera dan persuratan Melayu. Beliau banyak menghasilkan karya yang malar segar dan kebanyakan karyanya mencerminkan kehidupan sosiobudaya, politik dan ekonomi masyarakat yang melingkunginya. Sehubungan dengan itu, pada 13 November 2021, DBP dan Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) mengambil inisiatif melaksanakan Majlis Memperingati SN Profesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Shahnon Ahmad bertempat di Sik Inn, Kedah.\nDalam ucapannya, YAB Dato\u2019 Seri berbangga dengan kelahiran penulis-penulis prolifik dari Kedah seperti Dato\u2019 A. Rahmad, Dato\u2019 Halim R, Dr. Kassim Ahmad, Azizi Haji Abdullah, dan banyak lagi. Saban tahun penulis di negeri Kedah ini semakin bertambah dan kebanyakan karya yang dihasilkan mampu bersaing dengan karya penulis negeri-negeri lain. Tambah beliau lagi, amat wajar Anugerah Sastera Negeri dapat diusahakan dan direalisasikan dalam waktu terdekat, dan pelbagai pihak sama ada badan bukan kerajaan atau agensi kerajaan perlu berganding bahu menggembleng tenaga mengorbankan masa, tenaga dan dana untuk membantu melahirkan barisan penulis yang berkaliber pada masa hadapan. Penulis-penulis yang berbakat dan bersungguh-sungguh ini wajar diberikan pengiktirafan melalui Anugerah Sastera Negeri sebagai galakan dan motivasi bagi mereka untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu.\nSebelum itu, majlis dimulakan dengan Wacana Shahnon dalam Kenangan oleh tiga orang panel jemputan, iaitu Profesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Mohd Yusof Hasan, Dr. Noor Roza Hassan, Dr. Ghazali Din dan Dr. Husairi Hussin selaku moderator. Dalam wacana ini ketiga-tiga panel mengungkapkan karya-karya besar tulisan Shahnon Ahmad seperti Ranjau Sepanjang Jalan, Srengenge, Seluang Menodak Baung, Rentong, Sampah dan Tunggul-tunggul Gerigis. Kebanyakan karyanya membawa dunia luar untuk mengenali daerah Sik yang terletak di Hulu Kedah. Karya-karya Shahnon kaya dengan kritikan sosial untuk membangunkan masyarakat luar bandar dan keluar daripada kepompong kemiskinan yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.\nDalam wacana tersebut, satu kata sepakat telah dicapai menerusi Deklarasi Sik 13 November 2021 untuk mewujudkan Pustaleri (Pustaka dan Galeri) Sasterawan Negara Shahnon Ahmad di Banggol Derdap, Sik. Deklarasi ini ditandatangani oleh Haji Abd. Halim Haji Harun, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Ustaz Md Isa bin Shafie, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantik, Encik Mahamad Suhaimi bin Man, Pegawai Daerah Sik, Tuan Haji Abu Hassan Morad, Ketua Satu Angkatan Sasterawan Nasional (ASASI) Kedah dan Profesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Mohd Yusof Hasan.\nMajlis diakhiri dengan bacaan tahlil dan doa selamat kepada Allahyarham Shahnon Ahmad.\nMajlis pelancaran buku Biografi Sasterawan Negara Shahnon Ahmad: Anak Nan Bertuah ditayangkan di Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka, yang boleh ditonton di sini." "Kisah Saga Muslim China Pemenang Anugerah Berprestij Diterjemahkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Siri perbincangan buku sastera terjemahan bahasa Cina yang dibawa oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Pusat Kebudayaan Han Malaysia (HAN) yang berlangsung dari Ogos hingga November 2021 menemui penghujungnya dengan program bicara Titian Sastera: Bicara Buku Sastera \u201cPurnama Batu Jed: Sebuah Keluarga Muslim China\u201d pada 13 November (Sabtu), pukul 3.00 petang, menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka.\nKali ini, pengelola dan pembicara jemputan membicarakan sebuah karya sastera karangan Huo Da, yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan judul Purnama Batu Jed. Dua orang panel jemputan yang mewarnai pelantar pembicara ialah penterjemah bebas dan editor, Nur Amirah Zainal, serta penyampai berita RTM serta pengacara televisyen Selamat Pagi Malaysia, Syuhaida Ariffin.\nPurnama Batu Jed ialah sebuah novel berbahasa Cina karya Huo Da dengan tajuk asalnya, M\u00f9s\u012bl\u00edn de z\u00e0ngli (1988). Terjemahan langsung bagi judul asalnya berbunyi \u201cUpacara Pengebumian Sang Muslim\u201d.\nHuo Da merupakan penulis wanita, dan menurut Amirah Zainal, khalayak ramai kebanyakannya tidak tahu bahawa Huo Da ialah seorang pengarang Muslim asli China. Berketurunan daripada kaum Hui, beliau berasal dari Beijing dan dilahirkan pada tahun 1945. Dalam ranah sastera, Huo Da disenaraikan sebagai salah seorang pengarang yang penting dalam ranah sastera moden China.\nBuku Purnama Batu Jed ini juga telah dinobatkan sebagai penerima Hadiah Kesusasteraan Mao Dun pada tahun 1991, sebuah anugerah yang berprestij tinggi di negara China. Novel ini juga pernah diadaptasikan menjadi filem pada tahun 1993.\nLatar novelnya mengisahkan sebuah keluarga Muslim sebagai teraju utama. Keluarga ini dipaparkan sebagai penjual dan pengukir batu jed.\nAmirah menceritakan, \u201cTurun dan naiknya kehidupan keluarga ini mempunyai perkaitan dengan batu-batu jed itu yang menjadi sumber kehidupan mereka.\u201d Atas sebab itu juga, \u201cbatu jed\u201d yang berperanan penting dalam novel ini dipilih sebagai judul bagi versi bahasa Melayu.\nDalam terbitan terjemahan Inggeris pula, buku ini dijudulkan sebagai The Jade King: History Of A Chinese Muslim Family. Ia diterbitkan pertama kalinya kepada khalayak pembaca antarabangsa pada tahun 1992, setahun setelah menerima Anugerah Sastera Mao Dun. Rekod sambutan buat pembaca antarabangsa adalah sangat tinggi, sehingga ia menjadi novel yang sangat laris di pasaran.\nAmirah yang pernah membesar di China menyatakan, batu jed amat penting sebagai tanda kekayaan warga Cina, malah lebih bernilai daripada emas dan perak. Batu jed memainkan peranan penting dalam sejarah dan pembentukan corak kebudayaan bumi China sehingga hari ini.\nPurnama Batu Jed menampilkan saga keluarga tiga generasi yang menjalani kehidupan sebagai penganut Islam yang merentas zaman-zaman genting, bermula dari era penjajahan Jepun pada Perang Dunia Kedua, era Revolusi Kebudayaan, sehingga zaman setelah revolusi berakhir. Dikhabarkan juga bahawa Huo Da menulis novel ini berdasarkan bibit-bibit pengalaman sebenar beliau.\nMenurut Syuhaida Ariffin pula, \u201cTema besarnya yang lebih bersifat kekeluargaan, mewujudkan bibit keintiman dan membumi buat pembaca.\u201d Tema yang menekankan emosi dapat dirasai oleh pembaca negara asalnya mahupun khalayak di luar, kerana bahasa hubungan kekeluargaan dan cinta sememangnya universal. Tambah Syuhaida lagi, novel ini juga mengetengahkan ruang untuk khalayak menghayati rupa persepsi masyarakat China ketika itu terhadap masyarakat Muslim tempatan.\nBagi Amirah Zainal, sebagai editor yang menyunting terjemahan karya Purnama Batu Jed, beliau mendapati kerja mencari diksi dan ayat untuk setiap barisan terjemahan bukanlah kerja yang mudah, ditambah pula dengan lenggok kepuitisan pengarang dan unsur Islam dan Arab yang memerlukan usaha penelitian yang lebih mendalam.\n\u201cSeperti babak turutan mengambil wuduk dalam novel ini, ia disunting supaya sesuai dengan konteks pembaca bahasa Melayu,\u201d ujar Amirah. Di dalamnya juga pengarang menyisipkan beberapa istilah Arab, bait hadis Nabi serta ayat al-Quran yang memerlukan penglibatan dan kepakaran yang luar biasa daripada editorial.\nSempena siri bicara karya ini juga, DBP menganjurkan Pertandingan Resensi Buku, dengan hadiah pertama yang bernilai RM1000, hadiah kedua RM700, hadiah ketiga RM500, dan tiga hadiah sagu hati masing-masing bernilai RM300 bagi pemenang. Sila rujuk maklumat di sini.\nMajlis perasmian yang diadakan pada 17 Ogos lalu dirasmikan oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran. Turut hadir ketika itu ialah Presiden HAN, Dato\u2019 Goh Hin San, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Zainal Abidin Borhan, dan Pengerusi Persatuan Penulis China, Tie Ning.\nTonton bicara karya ini di sini." "Mendidik Melalui Puisi: Buah Tangan Terbaharu Prof. Wan Mohd Nor\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBagi sebahagian kita, Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud dikenali sebagai tokoh akademik yang sangat besar sumbangannya dalam keilmuan Islam. Namun peluncuran dua buah kumpulan puisinya, Mutiara Taman Adabi & Dalam Terang dalam sebuah buku puisi khas, ternyata memperkenalkan umum kepada sisi lain beliau.\nKedua-dua naskhah itu yang awalnya diterbitkan pada tahun 2004 ialah cetusan pemikiran Wan Mohd Nor yang masih berpaksikan ilmu Islam dengan tafsiran tanggungjawab masyakat berdasarkan al-Quran. Kumpulan puisi ini turut menyelitkan falsafah politik dan ilmu sejarah yang membawa pembaca berfikir dengan lebih jelas mengenai kehidupan manusia dan pengakhirannya.\nKedua-dua naskhah itu kini diterbitkan semula pada tahun ini oleh Nuun Adabi Nusa Bangsa, syarikat penerbitan di Indonesia. Majlis peluncurannya yang dibuat secara dalam talian baru-baru ini turut mengundang tokoh ilmuwan Dr. Adian Husaini, Prof. Tatiana Denisova dan Dr. Malki Ahmad Nasir sebagai pembahas.\nWan Mohd Nor dalam kata pembukaannya menyebut, beliau bukanlah seorang penyair yang terlatih namun sejak zaman persekolahan dan juga ketika menuntut di Amerika Syarikat, beliau banyak menulis puisi.\n\u201cBagaimanapun, sekitar 2002 dan 2003, berlaku dua punca besar dalam dunia Islam yang menggerakkan naluri, iaitu perubahan institusi pendidikan tinggi yang banyak merungkaikan masalah fundamental umat Islam yang membawa perubahan pada pemikiran dan budaya umat Islam oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas.\n\u201cHal ini mendapat respons yang baik daripada umat Islam dan bukan Islam, manakala satu lagi faktor ialah peristiwa 11 September yang menyaksikan hal-hal berkaitan Islam menjadi problematic.\n\u201cSaya amat tertekan tetapi saya tidak dapat bersuara dan ketika itulah saya melihat kembali puisi-puisi yang ditulis,\u201d katanya.\nTegas Wan Mohd Noor, ketika itu beliau sendiri terkejut dengan tulisannya dan bagaimana setiap kata dalam larik puisi itu mempunyai makna yang dalam. Malah katanya, ketika menulis puisi baharu, beliau sendiri tertanya-tanya bagaimana mampu berbuat demikian berdasarkan kedudukannya sebagai ahli akademik yang lebih kerap menggunakan bahasa Inggeris.\nTambahnya, apabila membaca puisi lama menimbulkan rasa teruja dan \u201cnaik bulu roma\u201d bagaimana setiap bait bahasa itu dapat merakamkan perasaan dan pemikirannya dengan lengkap dan tepat.\n\u201cApabila saya memilih tajuk Taman Adabi, ramai yang bertanya mengapa disebabkan di Malaysia Adabi itu merujuk kepada dua perkara utama, iaitu institusi pendidikan dan jenama rempah ratus.\n\u201cTapi saya memilih perkataan adabi disebabkan ia merupakan konsep penting yang dibawa oleh Prof. Syed Naquib al-Attas berkaitan dengan adab, iaitu pengenalan diri terhadap kedudukan kita di sisi Allah SWT.\n\u201cJadi Mutiara Taman Adabi merujuk kepada ilmu yang benar dan betul dan bersinar terang, serta bersinar terang mengajar manusia bertindak dengan cara yang betul,\u201d katanya.\nTonton majlis peluncuran penuh di sini." "Mitos Bahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata yang empunya ceritera\nkononnya bahasa Melayu\nkosa kata asalnya hanya tiga patah\npadi, besi dan babi\ntiada sanadnya yang sah\ntiada ketahuan nama perawi\nenak dijadikan sendaan\ntiada sedar kejahilan diri terdedah.\nKata yang empunya ceritera\nkononnya bahasa Melayu tiada berdaya\nmenyahut cabaran gelombang samudera\nlamun di paparan sejarah telah tertera\nbahasa Melayu hebat sejak zaman Sriwijaya\nmenanjak gemilang membina mercu tanda\ndalam zaman kesultanan di seluruh Nusantara\ndimahkotakan sebagai bahasa sempurna\nmerentas ranah, sempadan dan bangsa.\nKata yang empunya ceritera\nseluruh dunia kini kononnya beralih paksi\nkepada satu bahasa unggul sedunia nan tidak terperi\nsyarat menjadi bangsa maju dan akal yang bestari\nRupanya matanya kabur peribadinya lebur tidak bersaksi\ndi atas dan di bawah angin\nsekian banyak bangsa teguh berdiri\nmemacu kemajuan menguasai ekonomi, ilmu dan teknologi\nbertunjangkan kekuatan jati diri dan bahasa sendiri\nmemanfaatkan seperlunya bahasa dagang\ntanpa larut makna diri.\nMitos bahasa demi mitos bahasa\ndiciptakan dan direkayasakan\nkonon atas nama kemajuan bangsa dan negara\ntiada insaf akan fitrah ketetapan Yang Berkuasa\nmengurniai setiap bangsa dengan bahasa bukan sia-sia\nmemantapkan cita\nmembina akal budi\nmeningkatkan wibawa\ntidak kehilangan jejak\ndalam persaingan di pentas perdana\nkerana kita perlu ada mata alamat yang nyata\nmencapai puncak jaya\ndengan acuan dan citra wangsa\nBeijing\n21 April 2011" "Gambaran Bilangan yang Pelbagai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata bilangan merupakan kata tugas yang menjadi penerang atau penentu hadapan frasa nama, iaitu kehadirannya adalah di hadapan kata nama. Kata bilangan terbahagi kepada enam jenis, dengan maksud yang berbeza-beza, seperti yang berikut:\ni. Kata bilangan kardinal yang menunjukkan bilangan yang tentu. Contohnya ialah kata sifar, satu, sepuluh, sejuta, bilion dan trilion.\nii. Kata bilangan yang menunjukkan bilangan tak tentu. Contohnya ialah kata semua, segala, sekalian, seluruh, para, kebanyakan, banyak, sedikit, ramai, beberapa, setengah-setengah atau sesetengah dan sebilangan.\niii. Kata bilangan yang menunjukkan makna himpunan. Kata bilangan ini ditandai oleh awalan ber-, ke-\u00a0dan akhiran -an. Contohnya ialah kata beratus-ratus, ketiga-tiga\u00a0dan ribuan.\niv. Kata bilangan yang menunjukkan makna pisahan. Contohnya ialah kata tiap-tiap, setiap dan masing-masing.\nv. Kata bilangan yang membawa maksud pecahan. Contohnya ialah kata sepertiga, satu pertiga, setengah (seperdua), dan suku (seperempat).\nvi. Kata bilangan ordinal yang menunjukkan urutan bilangan. Kata bilangan ini biasanya ditandai oleh awalan ke-. Contohnya ialah kata pertama, kedua, kesepuluh dan keseribu.\n\u00a0\nSelain enam subgolongan kata bilangan di atas, terdapat juga mekanisme lain yang menggambarkan bilangan atau angka. Dalam hal ini, kata bilangan biasanya menjelma dalam bentuk awalan kepada kata dasar, dan menandakan nilai angka tertentu.\nBagi bilangan yang bernilai kurang daripada satu, terdapat kata seperti desimeter\u00a0(0.1 meter), sentimeter\u00a0(0.01 meter) dan milimeter\u00a0(0.001 meter).\u00a0Bagi bilangan satu\u00a0hingga sepuluh, terdapat bentuk-bentuk seperti yang berikut:\ni. Satu: contohnya ialah awalan eka- pada kata ekabahasa, awalan mono- pada kata monolog, kata esa\u00a0pada Maha Esa, dan kata tunggal\u00a0pada anak tunggal.\nii. Dua: contohnya ialah awalan dwi- pada kata dwibahasa, awalan di- pada kata digraf, awalan bi-\u00a0pada kata binomial, bilangan dua\u00a0pada kata dualisme\u00a0dan kata seperti duet\u00a0dan dupleks.\niii. Tiga:\u00a0contohnya ialah awalan tri-\u00a0dalam kata triatom, atau kata seperti trigonometri, triatlon\u00a0dan triftong.\niv. Empat: contohnya ialah kata kuadrat.\nv. Lima: contohnya ialah awalan penta- pada kata pentaklorida, dan awalan panca- pada kata seperti pancaindera, pancasila\u00a0dan pancawarsa.\nvi. Enam: contohnya ialah kata heksagon.\nvii. Tujuh: contohnya ialah kata heptagon, heptatlon\u00a0dan heptahedron.\nviii. Lapan: contohnya ialah kata oktagon, oktet, dan oktaf.\nix. Sembilan: contohnya ialah kata septet.\nx. Sepuluh: contohnya ialah kata dasawarsa, dekad dan dekameter\u00a0(10 meter).\n\u00a0\nBilangan yang lebih daripada sepuluh\u00a0juga ditandai dengan awalan atau kata tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:\ni. Seratus: contohnya ialah kata kurun, abad dan hektometer (100 meter).\nii. Seribu: contohnya ialah kata milenium, alaf dan kilometer (1000 meter).\niii. Sepuluh ribu: contohnya ialah kata laksa dalam sastera lama dan kata hektar (10\u00a0000 meter persegi). Dalam hal ini, kata berlaksa-laksa\u00a0bererti \u201cberpuluh-puluh ribu\u201d.\niv. Seratus ribu: contohnya ialah kata keti dalam sastera lama. Dalam hal ini, kata berketi-keti bererti \u201cberatus-ratus ribu\u201d.\nv. Juta: contohnya ialah awalan mega- pada kata seperti megawatt\u00a0dan megatan, dan kata jutawan.\nvi. Bilion: contohnya ialah kata bilionair.\nvii. giga- (109): contohnya ialah kata gigabait, gigahertz\u00a0dan gigameter.\nxi. tera- (240): contohnya ialah kata terabait.\n\u00a0\nAda juga kata yang menggambarkan bilangan tak tentu (lebih daripada satu) dengan awalan tertentu. Contohnya ialah imbuhan poli-\u00a0pada kata seperti poligon, polisemi\u00a0dan poliglot. Contoh lain ialah awalan multi-\u00a0pada kata multisel\u00a0dan multinukleus.\nAda juga variasi kata bagi kata bilangan tertentu, contohnya ialah kata lapan\u00a0mungkin ditulis sebagai delapan, dulapan\u00a0dan dualapan\u00a0dalam sastera lama. Ada kata bilangan yang mendukung dua makna. Contohnya ialah kata separuh\u00a0yang mungkin bererti \u201csetengah\u201d (kata bilangan pecahan) atau \u201champir 50 peratus\u201d (kata bilangan tak tentu). Ada juga kata bilangan yang bersempang. Contohnya ialah kata ke-20\u00a0dan 20-an. Selain itu, dalam sastera lama, frasa tiada terpermanai\u00a0bererti \u201cbanyak sekali\u201d." "Mengenang Allahyarham Kemala (Siri 3): Sasterawan Negara Dato\u2019 Dr. Baharuddin Zainal\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBerdisiplin, serius dan mempunyai pendirian. Itu tiga perkara yang dirumuskan oleh Dato\u2019 Dr. Baharuddin Zainal atau nama penanya Baha Zain terhadap sisi unik yang dimiliki Sasterawan Negara ke-11, Allahyarham Dato\u2019 Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali sebagai Kemala.\n\u201cKemala seorang penyair yang bagus. Puisinya agak berbeza dan mengikut personalitinya,\u201d tutur Dato\u2019 Dr. Baha memulakan bicara ketika diwawancara oleh sidang editor Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka di kediamannya baru-baru ini.\nMenyoroti perjuangan Allahyarham Kemala dalam penulisan dan kajian sastera dan kebangsaan, Dato\u2019 Dr. Baha menyatakan bahawa Allahyarham Kemala mempunyai hubungan yang baik dengan penulis bukan Melayu. Hal ini sekali gus mendedahkan Allahyarham terhadap dunia kesusasteraan yang lebih luas.\nTidak lupa, Dato\u2019 Dr. Baha turut mengenang Allahyarham Kemala sebagai penulis bersifat prorakyat yang membela nasib masyarakat terutamanya orang Melayu di luar bandar.\u00a0 \u201cKemala komited tentang perjuangan masyarakat dan pengucapan peribadinya.\u201d" "Muzaf Ahmad: Semarak Puisi Anak Muda Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDr. Shamsudin Othman menerusi acara Hari Puisi Nasional ke-21 pada 30 Oktober yang lalu menyatakan bahawa Muzaf Ahmad, seorang penyair muda yang kini menetap di Jepun, sebagai salah seorang penyair yang berperanan penting di negara era kini.\n\u201cPenyair Muzaf Ahmad dalam jalur keempat perkembangan puisi negara (era dan jalur terkini), pernah membicarakan kedamaian dalam \u2018Perjalanan Penyair\u2019, dan menyampaikan makna kepuisian kedamaian baharu,\u201d ujar Shamsudin. Beliau menganggap, penyair-penyair mutakhir kini juga tidak kurang lincahnya dalam usaha memecah bentuk dan gaya puisi yang sentiasa berkembang.\nNaskhah Sepasang Sayap di Bahu\nKumpulan puisi Sepasang Sayap di Bahu ini juga ialah rakaman peristiwa, merakam pengalaman saya sepanjang tahun 2015 hingga 2018, sama ada peristiwa peribadi mahupun peristiwa sekeliling yang saya amati.\nMuzaf Ahmad, pemenang Hadiah Sastera MASTERA ke-9 bulan Oktober yang lepas, merangkul hadiah itu melalui sebuah kumpulan puisinya, Sepasang Sayap di Bahu. Naskhah kumpulan puisi itu ialah buku kedua beliau yang diterbitkan pada tahun 2018, dan perjalanan penghasilannya agak panjang.\nDalam sesi temu bual pendek wakil sidang editorial Dewan Sastera bersama-sama Muzaf Ahmad baru-baru ini, beliau menyatakan manuskrip bagi Sepasang Sayap di Bahu menemui pihak penerbit kerana Muzaf memang berniat untuk menyertai Sayembara Puisi Kata-Pilar, sebuah sayembara puisi anjuran rumah penerbitan Kata-Pilar pada tahun 2018.\n\u201cSebenarnya, sayembaralah punca terhasilnya buku puisi ini. Disebabkan niat untuk menyertai sayembara, saya mengumpul semula puisi-puisi yang dinukilkan sepanjang saya berkelana dan berkarya dari tahun 2015 hingga 2018. Saya berani menyatakan bahawa temanya rencam,\u201d jelas Muzaf.\nDisusun dengan teliti oleh Muzaf sendiri mengikut garapan penceritaan, perlambangan dan maksud dalaman tertentu, pembahagian penyusunan puisi-puisi Sepasang Sayap di Bahu dipecahkan kepada tiga bahagian.\nMalah, bahagian pertamanya dibahagi pula kepada tiga bahagian lebih kecil lagi yang dimulakan dengan puisi yang menggunakan kata ganti diri pertama. Bahagian kedua pula melibatkan kata ganti diri kedua seperti watak \u2018engkau\u2019, \u2018kamu\u2019, manakala bahagian tiga pula melibatkan penggunaan subjek dengan panggilan kata ganti diri ketiga seperti \u2018dia\u2019 dan \u2018mereka\u2019.\nMerujuk beberapa kritikan, ulasan dan komen pembaca bukunya, Muzaf bersetuju dengan ulasan Iman Danial Hakim yang menyifatkan buku Sepasang Sayap di Bahu sebagai \u201cbuku puisi kembara dan kritikan sosial\u201d.\n\u201cAsalnya memang saya pernah berhasrat untuk menghasilkan kumpulan puisi bertema kembara. Namun begitu, tanpa berselindung, ia juga ditulis sebagai kritikan sosial, kerana saya tidak boleh lari daripada mengkritik, tapi lebih ditumpukan kepada golongan politikus yang korup. Saya memang suka mengkritik.\n\u201cKumpulan puisi Sepasang Sayap di Bahu ini juga ialah rakaman peristiwa, merakam pengalaman saya sepanjang tahun 2015 hingga 2018, sama ada peristiwa peribadi mahupun peristiwa sekeliling yang saya amati,\u201d jelas Muzaf.\nSuara Kepenyairan Muzaf Ahmad\nKita sebagai penulis, yang juga seorang manusia menggalas peranan tersendiri, seperti ahli masyarakat, anak, abang, malah sahabat, kita ini mempunyai tanggungjawab yang besar.\n\u201cIni fakta: puisi-puisi saya kebanyakannya, jika mempunyai imej dan perlambangan, ia adalah apa yang berlaku di hadapan saya. Apa-apa yang saya lalui itulah, apa-apa yang saya akan tuliskan ke dalam puisi, tidak sekali-kali cerita atau peristiwa rekaan.\u201d Muzaf memberi satu kenyataan menarik setelah ditala soalan cara beliau menukilkan puisi.\nMenurut beliau, imej-imej yang terdapat dalam karya puisinya, semuanya diambil atau ditangkap daripada sumber hakiki di sekelilingnya. Jika ada manusia yang bermain piano dalam bait puisinya, hal itu kerana Muzaf melihat seorang manusia bermain piano ketika beliau menulis. Jika ada kisah kunci yang hilang dan tenggelam dalam bait puisinya, petang sebelum beliau tulis puisi itu, ada peristiwa kehilangan kunci yang benar-benar berlaku.\nPertama kali beliau berkarya dan berpuisi adalah melalui majalah Dewan Siswa. Itulah yang mula mencetuskan rasa minat beliau terhadap bidang penulisan. Selain itu, di sekolah beliau juga, terdapat majalah Dewan Sastera, yang menyaksikan Muzaf sebagai pembaca tunggal majalah unik itu daripada kalangan pelajar lain. Apabila diselak-selak helaian majalahnya, minat beliau terhadap sastera dan puisi semakin mendalam dan mula berakar.\n\u201cPada peringkat awal itu, saya banyak belajar melalui membaca dan menghayati komen-komen dan tulisan kritikan karya sastera dalam majalah Dewan Sastera mahupun Dewan Siswa,\u201d ujar Muzaf Ahmad.\nSetelah melalui fasa pemikiran dan kesedaran, beliau yang masih di bangku sekolah mula menggali dunia penulisan dan kepenyairan dengan lebih mendalam, sebelum mula terbitnya rasa sedar bahawa sebenarnya mereka yang menulis karya ini bukan sekadar menulis.\n\u201cKita sebagai penulis, yang juga seorang manusia menggalas peranan tersendiri, seperti ahli masyarakat, anak, abang, malah sahabat, kita ini mempunyai tanggungjawab yang besar,\u201d tegas Muzaf. Manusia harus memainkan peranan untuk membantu kebaikan sejagat masyarakatnya.\nSetelah memperoleh kejayaan mencipta nama sebagai penyair yang mendapat hati dalam kalangan pembaca dan peminat sastera, Muzaf mengambil peluang ini untuk menyampaikan rasa penghargaan buat rumah penerbitan Kata-Pilar, yang membantu beliau dalam menghasilkan buku kumpulan puisi Sepasang Sayap di Bahu.\n\u201cTerutamanya buat Abang Fahd Razy, yang mengangkat kemampuan saya dan membawa saya mengorak masuk ke dunia sastera dan penulisan ini sehingga terhasilnya buku Sepasang Sayap di Bahu,\u201d tambah Muzaf. Katanya lagi, tanpa mereka, kemungkinan besar tidak adalah nama Muzaf Ahmad dalam ranah puisi Melayu.\nMuzaf Ahmad juga sedar jelas akan kelompok unik peminat-peminat sastera, dan baginya \u201cpeminat sastera ini tidak akan hilang\u201d, malah akan dikuatkan ketetapan hati mereka dalam ranah penjalin jiwa kemanusiaan ini.\nBeliau sendiri berasa beban di bahu sebagai penyair untuk memasyarakatkan sastera agar lebih rapat dengan masyarakat. \u201cJujurnya dan hakikatnya, karya sastera memang berat, jadi saya kena bawa sesuatu yang lebih ringan dalam karya-karya saya, tidak seperti saya pada awal-awal peringkat dahulu.\u201d Awal dahulu, beliau sendiri selalu dikritik oleh Faisal Tehrani kerana gaya penulisannya dahulu.\nBercerita pula tentang penyair-penyair kegemaran, nama-nama seperti Sasterawan Negara Dato\u2019 Anwar Ridhwan, T. Alias Taib dan Rahimidin Zahari menjadi pilihan Muzaf Ahmad.\nAnwar Ridhwan adalah antara sasterawan yang paling beliau gemari, kerana kemasyhurannya menyusun bahasa yang cukup kemas, \u201cseakan-akan karangannya disunting beratus-ratus kali.\u201d Anwar Ridhwan juga menulis dengan perasaan yang menghidupkan bait-baitnya, dan hal ini dapat dilihat dalam kumpulan puisinya, Tercipta Dari Tanya.\nTambahnya lagi, Anwar Ridhwan mempunyai gaya pemilihan diksi yang sempurna, tidak terlalu bombastik namun ditapis mencukupi ruang dan daya untuk menguasai jiwa pembaca, langsung memberikan inspirasi buat Muzaf.\nPenyair Allahyarham T. Alias Taib pula, Muzaf menyifatkan sebagai penyair yang mampu bermain imej yang dibawa dengan kelainan yang tersendiri dan berona tempatan. Allahyarham Rahimidin Zahari yang juga pernah merangkul Hadiah Sastera MASTERA, dilakar pula oleh Muzaf sebagai tokoh penyair yang berkarya dengan tona-tona bersifat peribadi yang sama seperti pilihannya, yang juga mempunyai unsur ketuhanan dan kerohanian. Karya-karya puisi Allahyarham amat rapat dan akrab dengannya, mempunyai bau keintiman yang disuarakan.\nDunia Kepenyairan Hari Ini?\nPerkembangan dunia kepenyairan di Malaysia sebenarnya amat positif.\nBagi Muzaf Ahmad, walaupun beliau tidak menetap di Malaysia, beliau merasakan perkembangan penerbitan buku puisi dilihat sangat positif.\n\u201cDahulu, orang takut untuk terbitkan buku kumpulan puisi, kerana ia tidak mendatangkan keuntungan tinggi, namun hari ini, dengan kelahiran rumah penerbitan seperti Kata-Pilar, usaha-usaha menerbitkan buku kumpulan puisi semakin kuat dan mendapat tempat di hati khalayak, sama ada peminat sastera, puisi mahupun khalayak perdana dan awam.\u201d\n\u201cMalah, dengan perkembangan teknologi, terlihat penggunaan media sosial yang meluas menyuburkan suara-suara puisi.\u201d Menyimpulkan bicara, setelah bertahun-tahun aktif menulis dan berkarya, Muzaf kini sedang berehat. Beliau sedang mengambil peluang masa dan ruang untuk menumpukan kerja membaca, mengamati karya-karya penyair lain, dan belajar daripada karya-karya yang tidak terhingga ilmunya di luar sana.\nSelain itu, beliau juga meluahkan, memenangi Hadiah Sastera MASTERA tersebut memberikan peluang buat beliau untuk menanamkan semangat kepada generasi baharu supaya kekal berkarya dan berpuisi. Dengan platform yang tersedia, seperti JendelaDBP, wajarlah beliau memikirkan usaha untuk manfaat rakan-rakan generasi baharu di negara sendiri. Kemungkinan satu hari nanti, Muzaf akan kembali ke tanah air, bekerja dan berjuang demi menyemarakkan jiwa puisi anak muda negara.\nIkuti laman rasmi Muzaf Ahmad di sini.\n_________________________\nSidang editorial\u00a0Dewan Sastera\u00a0mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan Muzaf Ahmad atas kemenangannya pada peringkat Asia Tenggara." "Jalan Keluar bagi Kesusasteraan Tertindas\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Pemerintah dan pengarang akan saling dan selalu bertentangan, walaupun hal ini bukanlah berlaku pada setiap negara, kerajaan, dan pengarang di dunia.\nRosli K. Matari mengemukakan pandangan demikian, menjawab pertanyaan peserta semasa Bicara Khas Sasterawan Negeri Kelantan berfokus topik \u201cMerdekakah Sastera Kita?\u201d anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) melalui pelantar maya PPAK.\nSasterawan Negeri Kelantan ini menjelaskan, isu penentangan para pengarang terhadap kerajaan merupakan perkara besar di dunia bagi mana-mana negara, justeru berkait doktrin dan corak pemerintahan, salah guna kuasa dan penyelewengan pemerintahan, serta mungkin ketidakadilan dan penindasan terhadap rakyat. Konflik ini terbukti sudah sering berlaku sejak sekian lama, dari dekad dan abad sampai kini.\nJelas beliau, masyarakat umum mungkin tidak begitu menyedari bahawa sebahagian sejarah di dunia adalah mengandungi isu dan isi besar penggulatan antara pengarang dengan kerajaan, berikutan permasalahan tersebut.\nBeliau menghuraikan takrif dan hakikat kemerdekaan kesusasteraan dalam konteks negara, serta kaitannya dengan kebebasan kreativiti pengarang, mencakupi global dan tanah air. Pembicaraan menarik beliau berfokuskan undang-undang dan kebebasan, doktrin pemerintah negara, serta tanggungjawab, kreativiti, dan keberanian pengarang, dan juga contoh para pengarang yang menjadi mangsa penindasan pemerintah.\nSasterawan ini menegaskan, undang-undang dan apa-apa doktrin adalah milik negara dan pemerintah. Namun, pengarang harus memiliki jiwa besar dan keberanian menegur atau melawan pemerintah yang mendukung doktrin pemerintahan yang tidak diterima oleh rakyat, atau pemerintah berkepentingan diri yang menyeleweng daripada kebenaran, keadilan dan hakiki kemanusiaan.\nPengarang sebagai golongan genius dan intelektual, melalui kebijaksanaan karya dan kuasa kesusasteraan akan mewakili suara rakyat bagi perjuangan membela serta menegakkan kebenaran. Malah, menurut beliau, itulah sebabnya Napolean Bornaparte pernah menyebutkan, \u201cAku lebih takutkan sebatang pena pengarang, berbanding seribu pucuk senapang.\u201d\nPada konteks ini, Sasterawan ini tidak menafikan, undang-undang dan doktrin sesuatu pemerintah adalah mempunyai kekuasaan sebagai lebih berkuasa ke atas pengarang. Sungguhpun demikian, pada hujung akhirnya \u2013 masyarakat, dunia secara global dan zaman dapat menentukan dengan tepat akan kebenaran antara penggulatan sesuatu pemerintah dengan pengarang pada zamannya. Akan tetapi, hal demikian selalunya terlewat, selepas seseorang pengarang itu terpenjara sekian lama, dizalimi dan sebagainya, atau meninggal dunia.\nBeliau mengemukakan contoh serta bukti menarik, berhubung isu dan konflik ini, antaranya sejarah penggulatan pemerintah \u2013 pengarang sebagaimana dialami pengarang besar dunia seperti Pablo Neruda, Boris Pasternak, Alexander Solzhenitsyn, Joseph Brodsky, Milan Kundera, termasuklah Socrates, Plato, Voltaire dan Rousseau dalam bidang persuratan falsafah. Manakala, dari rantau ini ialah Pramoedya Ananta Toer.\nTermasuk di tanah air kita juga, berlaku pertembungan ini semasa sepanjang period pemerintahan kolonial British dan Jepun. A. Kadir Adabi (Kelantan), Pak Sako dan Ahmad Boestaman, antara contoh pengarang yang cukup diwaspadai, malahan dipenjarakan oleh penjajah justeru kreativiti kesusasteraan dan perjuangan kemerdekaan.\nRosli mengistilahkan konflik dan pertembungan demikian sebagai \u2018Kesusasteraan Tertindas\u2019 bagi maksud konflik besar pengarang dengan pemerintah, kreativiti terkongkong dan karya bagi pembelaan rakyat, kebenaran dan keadilan yang diharamkan oleh pemerintah. Beliau mengangkat kembali istilah ini yang sudah pernah dikemukakan sejak 35 tahun lalu pada ceramah berkait peranan besar dan signifikan sastera, di negeri ini sejak 1986 dulu lagi.\nSasterawan ini menyarankan beberapa jalan keluar, sekira para pengarang berhadapan dengan konflik \u201cKesusasteraan Tertindas\u201d, iaitu:\nDalam konteks negara Malaysia, beliau menyatakan pengarang dan media adalah memiliki kebebasan dalam prinsip Negara Demokrasi. Sungguhpun begitu, tiada siapa pun memiliki kebebasan dan kewajaran untuk memperkotak-katikkan isu sensitif berkenaan perkauman, agama, bahasa, kebudayaan, serta hak kemanusiaan.\n\nBicara sepanjang dua jam ini, khalayak menyaksikan penyair dan tokoh Sasterawan Kelantan terkenal ini petah lancar membincangkan topik, dengan gaya bicara dan tawa jenakanya tersendiri. Malah, beliau mencabar masyarakat untuk merenung mendalam, sekiranya sastera adalah bidang dianggap tidak penting dan berguna, maka mengapa pengarang dan kesusasteraan amat ditakuti oleh sesuatu pemerintah dalam sesebuah negara, sampai kini?\nRosli K. Matari adalah tokoh Sasterawan Negeri Kelantan ke-3 (2020), selepas Allahyarham Sasterawan Negara S. Othman Kelantan (2003) dan Dr. Fatimah Busu (2015).\nTonton program penuh\u00a0di sini." "Sastera Milik Semua: Syarahan Keris Mas 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Penyelidikan Sastera telah menganjurkan Program Syarahan Keris Mas 2021 pada 10 November 2021. Syarahan Keris Mas ini diadakan telah disiarkan secara langsung di media sosial DBP.\nSyarahan Keris Mas yang julung kali diadakan ini bersifat tahunan bagi memperkatakan hal kesusasteraan kebangsaan atau kesusasteraan dunia dari sudut pandangan dan ilmu tokoh tersebut sama ada dalam bidang kejuruteraan, sains, perubatan, matematik dan bidang-bidang lain. Tokoh atau individu yang menyampaikan syarahan dalam program syarahan ini terdiri daripada mereka yang berlatarbelakangkan pelbagai ilmu pendidikan bagi menunjukkan bahawa ilmu kesusasteraan itu mempunyai kekuatannya yang tersendiri dan turut mendapat tempat dalam kalangan profesional pelbagai bidang.\nProgram ini mengabadikan nama Penerima Anugerah Sastera Negara yang pertama, iaitu Kamaludin Mohamad atau lebih dikenali sebagai Keris Mas bagi menghargai dan mengingati perjuangan sepanjang hayat SN Keris Mas dalam bidang kesusasteraan dan bahasa.\nPemilihan nama Keris Mas sebagai nama syarahan ini juga berdasarkan ketokohan dan perjuangan berterusan Sasterawan Negara Keris Mas dalam mengangkat harkat Sastera Kebangsaan di Malaysia ke arah yang dibanggakan sehingga beliau digelar pembaharu kesusasteraan Melayu Moden dalam Ucapan Pemidato Umum Penganugerahan Sasterawan Negara di Dewan Bankuasi, Bangunan Parlimen Malaysia pada 26 April 1981.\nMajlis Syarahan Keris Mas yang pertama ini dikendalikan oleh Dr. Shamsudin Othman sebagai moderator. Profesor Datuk Dr. Mohamed Hatta bin Shaharom telah dilantik untuk menjadi pewacana yang pertama dalam Syarahan Keris Mas ini. Ketokohan beliau sebagai seorang ahli perubatan dan juga individu yang mempunyai kebolehan dalam bidang persuratan mewajarkan beliau dipilih sebagai pewacana yang pertama untuk program ini.\nDalam Syarahan tersebut beliau telah menyampaikan kertas kajiannya yang berjudul \u201cSastera Tanpa Sains Tiada Kemajuan, Sains Tanpa Sastera Tiada Keanggunan\u201d.\nKajian beliau membincangkan unsur sains dalam sastera, serta hubungan sains dengan sastera dalam menyentuh istilah, bahasa, falsafah, dan bangsa. Beliau turut membincangkan beberapa persoalan yang menyentuh kedua-dua bidang ilmu ini melalui topik yang telah disusun, iaitu prasangka bahasa; rasisme di Malaysia; altruisme rakyat Malaysia; jurnal dalam bahasa Melayu; falsafah dan sains; kata bestari; nikmat berkenalan dan kesihatan; bahasa rahmat Tuhan; sastera dan sains; empat ranah hayat; ilmu sains dalam al-Quran; kefahaman tentang akal, qalbu dan jiwa insan; perubatan tradisional dan sastera Melayu; bahasa saintifik dan bahasa sastera; sulaman unsur sains dalam tapestri sastera; alegori keris sebagai jalinan sastera dengan sains; dan sastera tanpa sains dan sains tanpa sastera.\nDalam syarahannya, beliau turut mengiktiraf dan menyanjung keupayaan para sasterawan dalam usaha mereka untuk berkarya. Menurut beliau, tanpa sasterawan, banyak pengalaman hayat yang canggih dan rumit tidak dapat dilakarkan dengan cemerlang sehingga dapat menjadi iktibar. Pewacana juga memberikan pandangan bahawa orang bahasa dan sastera perlu menguasai pelbagai bidang sains asas supaya kefahaman serta karyanya lebih \u201ckaya\u201d.\nBegitu juga sebaliknya, orang sains yang tidak dapat menguasai bahasa serta sastera tidak dapat maju dengan keanggunan bahasa, sastera dan seni. Pandangan beliau ini menunjukkan bahawa ada hubungan timbal balik antara sains dengan sastera. Kerjasama antara kelompok sastera dengan kumpulan sains akan dapat menghasilkan karya sastera-sains yang kaya untuk kemajuan serta memakmurkan sikap keinsanan manusia.\nPenganjur, iaitu Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan menyasarkan bahawa objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memperkasakan kesusasteraan kebangsaan melalui weltanschauung ataupun pandangan menyeluruh, terutama bagi individu atau tokoh dalam bidang lain terhadap kesusasteraan Malaysia. Di samping itu juga, hasil kajian melalui syarahan ini turut menjadi korpus sastera yang boleh dijadikan kajian lanjutan atau bahan rujukan oleh sasterawan, penulis, ahli akademik, pendidik, mahasiswa, pelajar, dan aktivis sastera.\nKetua Bahagian Penyelidikan Sastera, iaitu Encik Saifullizan Yahaya berkata bahawa program yang dirangka ini juga bertujuan untuk memperbanyak wacana ilmiah dalam bidang kesusasteraan supaya masyarakat sentiasa mendapat ilmu dan maklumat tentang kesusasteraan tanah air. Perkara ini terdapat dalam Pelan Strategik DBP 2021-2025 di bawah Teras Strategik Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu.\nBahagian Penyelidikan Sastera akan menampilkan tokoh-tokoh lain yang berwibawa dalam bidang sains, teknologi, perubatan, dan pelbagai bidang lain lagi yang akan menjadi pewacana pada siri Syarahan Keris Mas yang akan datang. Matlamat Bahagian Penyelidikan Sastera adalah untuk membuktikan bahawa sastera bukan dimiliki oleh orang bahasa dan sastera sahaja, tetapi juga dimiliki oleh semua orang, tanpa mengira bidang yang diceburinya.\nTonton program penuh\u00a0di sini." "Tiga Karya DBP Dicalonkan dalam Anugerah Telenovela 2020/2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Beberapa tahun kebelakangan ini, semakin banyak karya berjaya diangkat menjadi telefilem dan filem. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga semakin giat mengangkat karya terbitan mereka untuk diadaptasikan. Menerusi adaptasi karya-karya ini, khalayak dan sastera dapat dirapatkan, dan karya sastera makin mendekati pilihan pembacaan.\nTiga karya adaptasi terbitan DBP telah dicalonkan dalam Anugerah Telenovela 2020/2021. Karya-karya tersebut ialah Sesekali dan Pendoa yang Ikhlas dalam Kategori Telefilem Tayangan 2019, manakala drama bersiri Korban Kasih bagi Kategori Telenovela Tayangan 2020.\nTelefilem Sesekali merupakan adaptasi daripada puisi \u201cSesekali\u201d (2006) oleh Siti Zaleha M. Hashim yang diterbitkan oleh Unit Drama TV RTM dengan kerjasama DBP dan diarahkan oleh Hisyamudin Ahmad. Telefilem ini kemudiannya diadaptasikan pula kepada novel oleh Lily Haslina Nasir yang juga merupakan penulis skrip telefilem tersebut. Telefilem Sesekali menemui penonton pada 14 Jun 2019 (Jumaat), pukul 9.30 malam di TV2.\nCerpen \u201cPendoa yang Ikhlas\u201d karya sasterawan Allahyarham Azizi Hj. Abdullah diangkat menjadi telefilem di bawah arahan pengarah Wan Afzan Wan Daud, terbitan Unit Drama RTM dengan kerjasama DBP, dan skrip oleh Amin Mashyur. Telefilem ini disiarkan bermula 27 Oktober 2019, pukul 9.00 malam di TV1.\nNovel Korban Kasih karya Fatimah Saidin yang diangkat menjadi drama bersiri (telenovela) Korban Kasih diarahkan oleh Mohd Fazil Yahya, diterbitkan oleh Mache All Star United dan skrip oleh Farhana Fauri. Telenovela ini disiarkan bermula 24 April pada pukul 7.00 malam di TV1. Dalam hal ini, kedua-dua novel karya Fatimah Saidin, Korban Kasih (2005) dan Korban Kasih 2 (2015) diangkat menjadi telenovela dengan tajuk yang sama.\nPada Anugerah Telenovela 2018 yang lepas, karya adaptasi terbitan DBP telah memenangi tiga anugerah.\n\u201cSupertelefilem\u201d Srengenge adaptasi daripada novel Srengenge (1973) karya Sasterawan Negara Allahyarham Shahnon Ahmad telah merangkul Anugerah Telefilem Terbaik, Anugerah Pengarah Telefilem Terbaik dan Anugerah Penulis Skrip Telefilem Terbaik. Telefilem ini diarahkan oleh Mahuddin Ibrahim, diterbitkan oleh Arca Creative House Sdn. Bhd. dan skrip oleh Wan Mahani Hassan. Telefilem ini pernah ditayangkan pada 27 Mei 2016, pukul 10.05 malam di TV1.\nMalam Anugerah Telenovela 2020/2021 yang bakal diadakan tidak lama lagi akan dimaklumkan di ruang media sosial rasmi Anugerah Telenovela (Facebook, Instagram dan Twitter). Karya-karya yang dicalonkan boleh dirujuk di sini." "Mengenang Allahyarham Kemala (Siri 4): Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJika orang bertanya, siapakah Kemala kepada saya? Jawapan saya, kami bersaudara.\nItulah yang diungkapkan oleh Sasterawan Negara ke-14, Datuk Dr. Siti Zainon Ismail yang turut sama berasa kehilangan atas pemergian Allahyarham Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali sebagai Kemala pada tanggal 27 Oktober 2021 yang lalu.\nMenurut beliau, nama Kemala didengarinya buat pertama kali melalui penceritaan ibunya yang mengenali peribadi allahyarham secara dekat.\nBeliau seorang penghuni perpustakaan. Ketika beliau menjadi seorang guru, bekas pelajarnya mengatakan bahawa beliau rajin mengulang kaji bersama-sama pelajarnya di samping menulis.\nTambah Datuk Dr. Siti Zainon lagi, beliau melihat pengalaman Allahyarham Kemala mengajar di Tanjung Karang, iaitu sebuah perkampungan petani pada waktu itu yang dikatakan perlu menggunakan perahu untuk menyeberang sungai dari Kuala Selangor, telah menjadi latar kepada kemunculan puisi-puisi awal allahyarham.\nMereka bertemu buat kali pertama apabila Allahyarham Kemala diminta ke British Council, Kuala Lumpur untuk mewawancara Datuk Dr. Siti Zainon tentang pameran seninya di situ. Pada waktu itu, allahyarham bertugas sebagai sidang pengarang majalah Dewan Sastera.\nApabila ditanya tentang usaha untuk mengenang perjuangan Allahyarham Kemala dalam bahasa dan kesusteraan Melayu, Datuk Dr. Siti Zainon berkata bahawa sudah tiba masanya untuk koleksi karya dan surat-surat lama para sasterawan termasuklah Allahyarham Kemala dirapikan semula.\nTuhan akan mengambil kita pada bila-bila masa. Harta yang ditinggalkan kepada kita hari ini ialah buku-buku penulisan yang perlu dikekalkan wajah-wajahnya.\nKatanya lagi, khazanah yang ditinggalkan oleh allahyarham banyak sekali. Oleh sebab itu, antara usaha yang boleh dilaksanakan untuk mengenang jasa beliau adalah dengan mewujudkan pustaka-pustaka kecil di tempat allahyarham pernah bertugas.\nKita ikuti perkongsian yang lebih mendalam daripada Datuk Dr. Siti Zainon Ismail tentang insan istimewa, Allahyarham Kemala." "Za\u2019ba, Bapa Linguistik Melayu Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSejarah penemuan dunia penulisan Alam Melayu dapat dibahagikan kepada dua fasa, iaitu fasa sebelum kedatangan Islam dan fasa selepas kedatangan Islam. Tradisi penulisan sebelum kedatangan Islam banyak dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit dan jenis tulisan Pallava, India. Hal ini terbukti sejak abad ke-3 atau ke-4 Masihi melalui penemuan Batu Bersurat Campa Tua dan Batu Bersurat Kutai. Setelah itu, perkembangan demi perkembangan berlaku sehingga pengaruh tulisan tradisi India berubah kepada tulisan Jawi selepas kedatangan Islam ke Alam Melayu sekitar abad ke-11 hingga abad ke-17, iaitu selepas penubuhan kerajaan Srivijaya pada abad ke-6 Masihi.\nDi sinilah bermulanya perkembangan bahasa Melayu yang pada ketika itu menjadikan tulisan Jawi sebagai tulisan rasmi yang diguna pakai dalam istana-istana mahupun urusan rasmi perdagangan. Kewujudan tulisan Jawi pula berasal daripada perkataan Arab yang dibawa oleh para pedagang dan alim ulama sehingga akhirnya agama Islam yang menapak di kepulauan Melayu tersebar dengan begitu pesat .\n\u201cTradisi kajian linguistik Melayu sudah bermula sejak abad ke-7 dan kedatangan Islam ke Alam Melayu yang mencapai tahap agama bagi kerajaan Melayu pada abad ke-13 Masihi, turut mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu dan bahasa ranah-ranah lain,\u201d ujar YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam segmen ke-11, \u201cSumbangan Za\u2019ba dalam Bahasa dan Persuratan\u201d melalui siri Sekolah Pemikiran Pendeta Za\u2019ba yang telah dijalankan sejak 2 Oktober lalu. Program ini ialah hasil usaha bersama Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia Pahang, DBP, Institut Peradaban Melayu UPSI, dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).\nJelas Awang Sariyan, \u201cHal ini terbukti apabila dalam catatan Yi Jing, iaitu seorang Pendeta Buddha pada tahun 671M menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengajaran dalam agama itu di Jambi (pusat kerajaan Srivijaya). Bahkan, pada abad ke-15M telah wujud jabatan jurubahasa (Ta Dong Si) dan bahasa asing (Si Yi Guan) di istana maharaja Dinasti Ming yang melibatkan bahasa Melayu sebagai bahasa asing yang penting. Jadi, jika telah wujud jabatan bahasa asing ini yang melibatkan bahasa Melayu tentulah sudah ada kajian linguistik tentangnya meskipun tanpa teori yang formal.\u201d\nRentetan itu, wujud kamus bahasa Melayu pertama, Man La Jia Guo Yi Yu (Kamus Dwibahasa Melayu-Cina) pada abad ke-15 dan mengandungi 17 ranah istilah dalam pelbagai bidang, antaranya termasuk astronomi, cuaca, flora, geografi, masa, anotomi, barang kemas, istana dan bangunan, sejarah, sosial, dan lain-lain.\nPerkembangan demi perkembangan ini yang menyaksikan kemunculan istilah-istilah dalam bahasa Inggeris dan Arab dari satu abad ke satu abad telah dimanfaatkan oleh Za\u2019ba dalam buku-bukunya yang telah ditulis sejak tahun 1920-an. Za\u2019ba dengan jiwa yang begitu tawaduk juga mengakui bahawa beliau banyak merujuk Kamus Jawi-Melayu-Inggeris karangan R.J. Wilkinson untuk menghasilkan rumusan aturan ejaan Rumi dan Jawi.\nPelbagai penyelidikan dan analisis dilakukan oleh Za\u2019ba tentang ragam bahasa Melayu hingga akhirnya, beliau berjaya meletakkan asas bahasa Melayu untuk manfaat pembaca sehingga kini. Za\u2019ba ialah tokoh rintis bahasa Melayu baharu yang berjaya menulis dengan kehebatan dan ketinggian akal, meskipun bersumberkan rujukan yang terhad namun bersumberkan ilmu yang luas. Jelas dapat dibuktikan karya-karya Za\u2019ba telah dikarang 10 tahun lebih awal daripada retorik Barat dan mendahului tokoh linguistik Amerika, iaitu Leonard Bloomfield yang muncul pada tahun 1930-an dengan struktur linguistiknya yang sangat dikenali dalam dunia Barat suatu masa dahulu.\nZa\u2019ba menjadi pencetus pada peletakan asas sistem bahasa Melayu baharu, sama ada dari sudut ejaan, tatabahasa mahupun retorik. Beliaulah yang menandai perkembangan dalam bidang keilmuan dan linguistik Melayu baharu yang akhirnya atas jasa besar ini telah dikurniakan Ijazah Doktor Kehormat Persuratan pada tahun 1973 bersempena Majlis Konvokesyen Pertama UKM. Namun begitu, beliau tidak dapat hadir kerana sakit dan akhirnya meninggal dunia pada 23 Oktober 1973.\n\u201cIlmu yang kuat dan jelas daripada Za\u2019ba terletak pada kekuatan intuisinya dan pemerhatiannya terhadap sistem bahasa Melayu, meskipun beliau tidak terdedah secara formal dalam bidang linguistik pada ketika itu. Bahkan, Za\u2019ba tidak pernah belajar ilmu fonologi (fonetik). Namun dengan ketajaman fikiran, beliau dapat membuat analisis tentang hubungan bunyi dan ejaan. Sedangkan diketahui umum ilmu fonologi mula muncul pada tahun 1960-an. Inilah bukti kehebatan Za\u2019ba. Tidak dapat dinafikan bahawa Alam Melayu mempunyai tokoh bahasa yang hebat. Bahkan, kita tidak boleh menyatakan hanya orang-orang Barat yang mampu mengeluarkan teori dan rumusan kerana ketokohan orang Melayu telah dibuktikan oleh Za\u2019ba,\u201d ujar Awang Sariyan pada separuh akhir program.\nInilah ketokohan dan kecintaan Za\u2019ba dalam dunia persuratan dan bahasa Melayu yang amat wajar dicontohi. Semoga anak kelahiran Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan ini terus lestari di bibir dan ingatan anak bangsa selamanya. Program bersempena Dekad Membaca Kebangsaan ini telah berlangsung pada 13 November 2021 yang lalu jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari secara dalam talian di serambi maya Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka.\nTonton syarahan penuh di sini." "Detik Itu Kembali Lagi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTanggal 29 November, 2001\nbagai langit runtuh menangis hiba\nkau tinggalkan kami\ndijemput pulang\ndi sunyi pekat malam.\nMalam menjadi siang\nhingar bingar, riuh rendah\nsemua dikejutkan\ndiduga dengan kehilangan yang pasti.\nDetik itu kembali lagi\ntanggal 29 November kembali\nseperti dulu\nbagai langit runtuh meratap tangis\nkini kali ke dua puluh\nkembali dengan pulas ombak menghempas.\nDari tiap lirikkan mataku\nwajahmu mengintai silau\nhati yang merindu sayu melarat\nruang kosong, lompong di sanubari\ndengan berat aku redha|\natas tuntutan wajib Yang Esa\ndan jika saat bertemu kembali dimakbul\npasti ruang ini sempurna terisi penuh.\nSehingga saat bertaut itu\ntanggungjawab akan ku pikul\nmembela, menegakkan, menyebar\ncinta kasihmu sejagat\npada alam dan manusia seluruh\njalan yang penuh kerikil dan semalu\nmenapak, melangkah dengan gusar\nmenahan keperitan yang tertulis sudah.\nAku hanya perlu restumu\npada jalan amanah ini\ndengan semangat jiwamu\ndulunya kental ikhlas berkobar.\nSalam kasih rindu yang lara.\nLARALUKA\nNovember 2021" "Rukun Negara Dihayati dalam Citra Kebenaran\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSelain tarikh kemerdekaan tanah air, rakyat Malaysia juga perlu menghayati Rukun Negara yang mengandungi lima prinsip besar mengikut bidang, cara atau kemampuan masing-masing. Raja Yusoff Ariffin menghayatinya menerusi karya sastera. Beliau antara yang turut diundang oleh penerbit untuk menulis dalam antologi bersama Citra Kebenaran yang diterbitkan khusus untuk menghargai, dan menghayati Rukun Negara.\nSeorang penulis era 1980-an dan juga mantan editor sebuah penerbitan, Mohd. Isnin Tawaf yang memimpin Karya Warisan Ledang, merasakan tarikh keramat tersebut tidak wajar dibiarkan berlalu tanpa sesuatu yang membekas di jiwa rakyat Malaysia.\nWalaupun Citra Kebenaran ini muncul agak lewat daripada tarikh yang dirancang, tetapi yang lebih penting dan wajar dipuji ialah matlamat penerbitannya. Setebal 235 halaman, antologi ini diterbitkan bersempena dengan 50 tahun Rukun Negara pada 31 Ogos 2020.\nRukun Negara diisytiharkan oleh Kerajaan Malaysia pada 31 Ogos 1970, bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-13 kemerdekaan tanah air, dan kesan daripada peristiwa hitam 13 Mei 1969.\nLantaran perintah kawalan pergerakan akibat wabak pandemik COVID-19 yang mengekang, sebarang acara sambutan 50 tahun atau Jubli Emas Rukun Negara secara bersemuka tidak dapat diadakan.\nWalau bagaimanapun, seorang penulis era 1980-an dan juga mantan editor sebuah penerbitan, Mohd. Isnin Tawaf yang memimpin Karya Warisan Ledang, merasakan tarikh keramat tersebut tidak wajar dibiarkan berlalu tanpa sesuatu yang membekas di jiwa rakyat Malaysia.\nJusteru, komuniti penulisan, kegiatan dan penerbitan sastera tersebut mengorak langkah bekerjasama dengan Komuniti Buku Pengkarya Johor dan Warung Buku menerbitkan sebuah antologi yang menghimpunkan karya penulis Malaysia, dengan mengangkat tema mengenai Rukun Negara, dan kemerdekaan tanah air.\nSiap diterbitkan pada Ogos 2021 yang lalu, antologi yang berjudul Citra Kebenaran ini tidak hanya menampilkan para penulis veteran/terkenal sahaja yang masih aktif dan telah menyepi, tetapi juga penulis baharu/tidak terkenal.\nSebagai pengarah projek penerbitan Citra Kebenaran, Mohd. Isnin yang juga merupakan peminat dunia sastera tanah air, serta mempunyai ramai kenalan dalam kalangan penulis sastera hebat dan mapan. Beliau dapat mengundang agak ramai daripada penulis veteran/terkenal untuk turut serta.\nRukun Negara, jelas Aripin lagi, menjadi kata kunci bagi hasrat kerajaan mencapai kesejahteraan, dan kemakmuran rakyat.\nAntologi Citra Kebenaran dibahagikan kepada tiga segmen, iaitu Segmen Penulis Tamu, Segmen Karya Penulis, dan Segmen Penulis Anekdot. Dengan adanya Segmen Penulis Anekdot, bererti antologi ini tidak hanya diisi dengan sajak dan pantun sahaja. Biodata para penulis yang terlibat turut dipaparkan dalam 39 halaman.\nCitra Kebenaran memuatkan 142 buah karya daripada 91 orang penulis, dengan pecahannya, iaitu 34 buah dalam Segmen Penulis Tamu, 96 buah dalam Segmen Karya Penulis, dan 12 buah anekdot. Mengambil kira Jubli Emas Rukun Negara, Citra Kebenaran menjadi lebih istimewa apabila didatangkan dengan sebuah kotak eksklusif.\nAntara penulis veteran/terkenal yang mengisi Segmen Penulis Tamu termasuklah A. Ghani Abdullah, Aladin Mohamad, Dato\u2019 Aripin Said, Chai Loon Guan, Darma Mohamad, Ehsan Jamily, dan Shapiai Muhammad Ramly, bersama-sama Abdullah Shuib, Chulan Chin, Mohd. Azli Lee Abdullah, dan Nazeri Nong Samah yang masih menulis walaupun telah lama menyepi, serta penyanyi/penulis lirik terkenal, Siso Kopratasa; penyanyi/komposer meningkat naik, Adiwangsa Sukma, dan Mohd. Rosli Bakir, Munsyi Dewan (Sastera), yang juga penyelenggara Citra Kebenaran.\nAb. Rani Embi, Hafizan Jamal, Ijamala MN, Ria Asmira, Siti Zaiton Ahmad, Sujata Wee, dan W.B. Rendra pula antara penulis lama/baharu terkenal dalam Segmen Karya Penulis. Mohd. Isnin turut menjemput Nur Dzahirdi untuk mengisi segmen berkenaan.\nDua belas anekdot dihasilkan oleh lapan orang pengkarya dengan Basri Zakaria paling banyak, iaitu menulis tiga buah.\nSelain Mohd. Isnin, Aripin (Kata Pengantar) dan Mohd. Rosli (penyelenggara), penghasilan Citra Kebenaran turut didokong oleh Armin Azhari Salleh, seorang editor berpengalaman luas dari Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai penasihat penerbitan, Mohd. Khairul Azhar Mustapa (penyelaras), Abdul Karim Abdul Latip dan Mohd. Nasir Othman (urus setia), Mali Jaafar (ketua grafik), Somat Somrat (konsep kulit), dan Nor Anisah Abd. Halim (tipografi).\nDalam kata pengantarnya, antara lain Aripin mengakui para penyair sentiasa peka dan merasai apa-apa yang berlaku di sekeliling mereka. Katanya, itulah yang digarap oleh para penyair dalam melahirkan karya-karya mereka.\nTegas Aripin, para penyair masa silam merakam, malah meniupkan api semangat kebangsaan menerusi sajak-sajak ciptaan mereka. Katanya, penyair ada saham tersendjri dalam memajukan atau membangunkan negara. Rukun Negara, jelas Aripin lagi, menjadi kata kunci bagi hasrat kerajaan mencapai kesejahteraan, dan kemakmuran rakyat.\nAripin turut menulis dua buah sajak dalam antologi ini, iaitu \u201cSekali Merengkuh Dayung\u201d dan \u201cCitra Kebenaran\u201d. Menerusi \u201cSekali Merengkuh Dayung\u201d, antara lain, Aripin menyatakan: \u201cDirgahahayu negara bangsaku/sepakat di bawah satu naungan/sekali merengkuh dayung/dua tiga pulau terlepas/kita genggam seeratnya/kerukunan yang ditugukan\u201d.\nLewat \u201cCitra Kebenaran\u201d, Aripin turut menegaskan: \u201cDi zaman penuh kecelaruan ini;/Biarlah si luncai terjun dengan labu-labunya./Biarkan! Biarkan!/Namun kita selamanya tetap/membina peradaban; luhur pekerti;/meninggikan susila; menjunjung kesopanan;/Mendaulatkan keluhuran dan kerukunan/negara bangsa.\u201d\n\nA. Ghani menulis sajak \u201cMasihkah Ingat Malaysia\u201d dan \u201c50 dalam Kebun 63 (Tegaknya Rukun Negara)\u201d, Aladin dengan sajak \u201cKuntum Bunga Rampai\u201d, Loon Guan menghasilkan sajak \u201cCeritera Rukun Negara I\u201d dan \u201cCeritera Rukun Negara II\u201d, Darma pula sajak \u201cTakrif\u201d dan \u201cAdab\u201d, Ehsan dengan sajak \u201cDemi Nusa Tercinta\u201d dan \u201cPada Tanah Permai Ini\u201d, dan Shapiai memberikan sajak \u201cRukun Kebenaran\u201d dan \u201cEnigma Mencari Arah\u201d.\nMenerusi \u201cCeritera Rukun Negara I\u201d, Loon Guan menulis: \u201cberkat muafakat rakyat/kebijaksanaan negarawan/termaktub falsafah negara/Rukun Negara, 31 Ogos 1970/memperteguh permuafakatan.\u201d\nLewat \u201cCeritera Rukun Negara II\u201d pula, Loon Guan menulis: \u201cdirgahayu, tanah airku/aman makmur berdaya maju/bersekutu bertambah mutu/berdaulat bermartabat/di dunia sarwajagat!\u201d\nShapiai yang menerima Anugerah Penyair GAPENA 2021 pada 29 Oktober lalu, antara lain menulis: \u201cRukun kebenaran/menjadi samar/suara kepalsuan/meluaskan garis kekuasaan/merobek rasional/perpaduan dan kesusilaan/Telah kedengaran suara sinis/dari kubah kebatilan/suara Islam dikembalikan.\u201d (\u201cRukun Kebenaran\u201d).\nSelain itu, Shapiai menulis: \u201cKebenaran politik adalah kebenaran kuasa/membasuh paradok fikiran lama/dengan mandi paradigma/kemenangan pragmatis/adalah kemenangan melawan idealis/tanpa pegangan ke mana tujuan harus kita halakan/Rukun Negara menjadi tunjang rujukan/mencari arah bukan sesuatu yang membingungkan.\u201d (\u201cEnigma Mencari Arah\u201d).\nSiso menulis pantun, iaitu \u201cPantun Semangat Rukun Negara\u201d dan \u201cKemerdekaan Dalam Pantun\u201d. Adiwangsa pula menghasilkan sajak \u201cSaat Aku Menyanyikan Lagu Negaraku\u201d dan \u201cMenulis Sejarah itu Mudah\u201d.\nSementara itu, Rani dengan sajak \u201cSepohon Rukun Negara\u201d menulis: \u201cSepohon rukun/terbina dari akar kepercayaan/mencengkam pada dada bumi/menyegarkan pohon agar tumbuh kukuh/dengan kuasa Ilahi.\u201d\nDalam sebuah lagi sajaknya, \u201cRumah Negara\u201d beliau menulis: \u201cRumah ini dibina leluhur/dengan tiang tegak berlima/penguatnya kepercayaan/pengikatnya kesetiaan/pasaknya perlembagaan/pakunya kedaulatan undang-undang/tanggamnya susila/rabungnya kesopanan.\u201d\nIjamala menulis sajak \u201cMusim Demi Musim Kita Menyusur\u201d dan \u201cDaerah Kemerdekaan Ini\u201d, Siti Zaiton dengan \u201cDinding Rukun Negara\u201d, Sujata pula \u201cDemi Ibu Pertiwi\u201d dan \u201cLaksana Emas Bertatah Permata\u201d, dan Rendra menghasilkan \u201cNikmat Kemerdekaan (versi 20.20)\u201d.\nDalam sajaknya, \u201cDi Mana Penghayatan Kita\u201d, Ria, salah seorang pemenang hadiah utama Sayembara Penulisan Puisi 50 Tahun GAPENA, antara lain menulis: \u201csetelah sekian lama kita mendiami rumah pusaka ini/masih ada antara kita yang tergagap-gagap suaranya/masih antara kita tergaru-garu baru mengingati/bila disergah tanya apakah itu Rukun Negara/berkesankah sayangkan negara berkasih di hati/lupa di mana tonggak kehidupan kendiri negara sendiri/nipis semangat sirna jati diri tunjang kekuatan/tiada arti kemerdekaan ini dari asuhan poyang moyang/tanpa kenal Rukun Negara halaman pintu kesedaran.\u201d\nDalam memenuhi undangan, saya menampilkan sajak \u201cSehingga Akhir Dunia\u201d dan pantun \u201cPantun Keramat Rukun Negara\u201d dalam Segmen Penulis Tamu. Antara lain, saya menulis: \u201chari terakhir Ogos/hari pertama usaha/tetap dan berterusan/sehingga akhir dunia./seiring lima dekad Rukun Negara/langkah mantap/lurus dan tetap.\u201d (\u201cSehingga Akhir Dunia\u201d).\n_________________________\nRaja Yusoff Ariffin atau Raja Yusoff Raja Ariffin dilahirkan pada 21 Ogos 1962 di Pulau Tiga Kanan, Parit, Perak. Beliau menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Raja Yusoff merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur, rakan Tajulmedia Melayu dan pernah menganggotai PAKSI. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun \u201cBeraya di Kampung Warisan Melayu\u201d Satu Property (2020)." "Meningkatkan Karyawan DBP Generasi Pelapis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 merupakan sebuah jabatan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Umum mengetahui bahawa matlamat penubuhan DBP adalah untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi. DBP juga berperanan mengembang bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan. Lantaran itu, karyawan DBP tidak dapat dipisahkan dengan bidang persuratan Melayu.\nSuatu ketika dahulu, DBP merupakan sebuah organisasi yang sentiasa dikunjungi oleh para penulis dan tokoh-tokoh besar kesusasteraan Melayu. Malah, kebanyakan warga DBP juga terdiri daripada penulis tersohor yang dikenali dalam ranah penulisan tanah air. Antaranya termasuk Sasterawan Negara (SN) Keris Mas, Usman Awang, Abdullah Hussain, Anwar Ridhwan, Kemala, dan Baharuddin Zainal.\nNamun, seiring dengan perkembangan waktu dan peredaran zaman, penulis-penulis tersebut tidak lagi berkhidmat dengan DBP kerana sudah menikmati dunia persaraan. Persoalannya, adakah karyawan DBP kini masih terlibat dalam dunia penulisan karya sastera?\nNor Muhamad sewaktu membentangkan kertas kerja beliau dalam Seminar Bahasa dan Sastera (SEBARA) 2021 menjelaskan bahawa generasi penulis mapan dan tersohor yang masih berkhidmat di DBP pada masa kini boleh dikatakan semakin kurang kerana faktor persaraan. Namun, masih ada beberapa orang tokoh penulis DBP berusia 50 tahun ke atas yang masih lagi menulis. Antara penulis tersebut termasuk Dr. Abang Patdeli Abang Muhi (Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera), Filzah Ibrahim (Akademi DBP), E-Pian a/l Pro Poul (DBP Wilayah Utara), Jaafar Hamdan, dan Rosani Hiplee, masing-masing dari DBP Cawangan Sarawak. Kesemua penulis ini menghasilkan karya dalam bentuk buku.\n\u201cNamun jika diteliti, generasi penulis 50 tahun ke bawah kebanyakannya terdidik dalam bidang di luar sastera dan bahasa. Hal ini kerana DBP secara terbuka memberikan ruang kepada sesiapa sahaja yang berkelayakan menyertai organisasi keramat ini. Antara penulis DBP generasi baharu yang prolifik, ialah Saifullizan Yahaya, Shahrun Nizal Mohd Nor, Muhammad Fadli al-Akiti, Azura Halid, Mohd Faizal Jamil, Nur Ainaa Abdul Hamid, W. Zalina Rajali, Marwati Wahab, Azimin Daud, Hafizul Osman, Fathenwan Wan Mohd Nor, Nur Asyikin Zauzi, dan Hasni Jamali, \u201d jelas Nor Muhammad.\nKertas kerja Nor Muhamad yang ditulis bersama-sama Shahrun Nizal Mohd Nor berjudul \u201cPenulis Karyawan DBP: Kewujudan dan Usaha Penggalakannya\u201d turut meneliti penglibatan karyawan DBP dalam dunia penulisan esei dan kritikan sastera.\nUjar Nor Muhamad, \u201cRata-rata pengkritik sastera tanah air terdiri daripada para penyelidik dan pensyarah universiti dalam bidang sastera. DBP pernah memiliki beberapa orang karyawan yang terlibat dalam penulisan kritikan, seperti Hamzah Hamdani, Dr. Mohd. Hanafi Ibrahim, Mohamad Daud Mohamad, dan A. Wahab Hamzah. Namun, nama-nama ini sudah tidak lagi berkhidmat kerana telah bersara. Antara karyawan DBP masa kini yang masih berkhidmat dan terlibat dalam dunia penulisan esei dan kritikan termasuklah Dr. Hazami Jahari, Jaafar Hamdan, Abdul Rashid Subet, Dr. Syaidul Azam Kamarudin, Mohamad Ikhram Fadly Husain, dan Shahrun Nizal Mohd Nor.\u201d\nTambah Nor Muhammad, \u201cTerdapat juga beberapa orang karyawan DBP yang menghasilkan karya, tetapi secara eceran dalam pelbagai genre. Sebahagiannya menonjol dan dikenali oleh warga sastera tanah air kerana kualiti yang dihasilkannya. Sebahagiannya pula mungkin menulis secara diam-diam tanpa mahu menonjolkan diri mereka.\u201d\nMengulas lanjut tentang karyawan DBP yang giat menulis, sokongan yang berterusan daripada pihak pengurusan tertinggi DBP harus ditingkatkan. \u201cKeunggulan DBP sejak dahulu bukan sekadar diukur pada impak hasil aktiviti pengembangan bahasa dan sastera, ataupun hasil penyelidikan dan penerbitan buku semata-mata tetapi nama DBP kekal gah kerana mempunyai karyawan yang hebat dalam penulisan karya sastera. Malah, ada dalam kalangan mereka diangkat sebagai tokoh politik, birokrat, sasterawan, intelektual, dan sarjana. Untuk mendapatkan kualiti karya yang baik, beberapa inisiatif seperti bengkel bimbingan penulisan, kaedah pementoran dan diskusi karya penulis DBP wajar diadakan, khas untuk karyawan DBP,\u201d tegas Nor Muhammad lagi.\nNor Muhammad merupakan salah seorang pembentang dalam SEBARA 2021 yang berlangsung pada 24 November 2021 (Rabu), pukul 9.00 pagi hingga 4.30 petang anjuran Bahagian Penyelidikan Bahasa, Bahagian Penyelidikan Sastera dan Akademi DBP.\nSEBARA yang bertemakan \u201cCabaran Bahasa, Sastera dan penerbitan dalam Era Digital: Peluang dan Ancaman\u201d diadakan bertujuan untuk membina karyawan DBP yang berketerampilan, berwibawa dan meneruskan tradisi keilmuan dalam kalangan karyawan DBP, seiring dengan perkembangan bidang teknologi maklumat dan komunikasi serta era digital. Seminar yang dianjurkan secara dalam talian ini dirasmikan oleh YBhg. Tuan Haji Md. Johari bin Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Dewan Bahasa dan Pustaka." "Chatbot Kecerdasan Buatan Bantu Pelajar Antarabangsa Kuasai Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBerdasarkan Laporan Statistik Pendidikan Tinggi 2020: Kementerian Pengajian Tinggi, pelajar antarabangsa yang menyambung pelajaran di Malaysia berjumlah 131 300 orang. Peningkatan jumlah kemasukan pelajar antarabangsa di institusi pengajian di Malaysia telah menjadi asas utama bagi penawaran Kursus bahasa Melayu kepada pelajar antarabangsa, khususnya di institusi pengajian tinggi (IPT).\nBerpandukan Akta Pendidikan 1996 dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, semua pelajar antarabangsa yang menuntut di Malaysia wajib mengambil Kursus Bahasa Melayu di IPT masing-masing. Bagi memastikan keseragaman dalam penawaran Kursus Bahasa Melayu di IPT, Agensi Kelayakan Malaysia menggariskan beberapa hasil pembelajaran dan sukatan pelajaran komprehensif untuk pelajar yang mengambil Kursus Bahasa Melayu, terutamanya pelajar antarabangsa.\nPenawaran Kursus Bahasa Melayu kepada pelajar antarabangsa memberikan cabaran yang hebat kepada pihak IPT dan pengajar Kursus Bahasa Melayu. Hal ini untuk membolehkan pelajar antarabangsa dapat mengikuti Kursus Bahasa Melayu dan menguasai kemahiran asas bahasa Melayu dengan baiknya.\nSatu daripada cabaran utama yang dihadapi oleh pihak IPT dan pengajar Kursus Bahasa Melayu ialah pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan menyeronokkan untuk memastikan pelajar antarabangsa kekal bermotivasi ketika mempelajari bahasa Melayu. Motivasi pelajar antarabangsa dalam pembelajaran bahasa Melayu sering berubah-ubah dan banyak pelajar yang mempunyai tahap motivasi yang rendah disebabkan oleh pelbagai faktor.\nMenurut Siti Saniah dalam makalah \u201cKekangan Pelajar Asing dalam Menggunakan Kemahiran Bertutur Bahasa Melayu\u201d, peruntukan tempoh masa belajar yang singkat mengurangkan tahap motivasi pelajar antarabangsa. Tempoh masa yang tidak mencukupi ini menyebabkan pelajar tidak mampu menguasai bahasa Melayu dengan baiknya.\nBagi Nurul Shahida Jamil dalam makalah \u201cKebimbangan Pelajar Antarabangsa dalam Mempelajari Bahasa Melayu\u201d, kebimbangan melampau turut mempengaruhi motivasi pelajar. Kebimbangan melampau ini meliputi kurangnya keyakinan diri, takut gagal, gementar dan rasa rendah diri untuk bercakap di hadapan kelas.\nJuwairah Osman dan Mardian Shah Omar dalam makalah \u201cAplikasi Teknologi dan Motivasi dalam Kemahiran Berbahasa Melayu untuk Penutur Asing\u201d pula menyatakan bahawa penggunaan teknologi ialah suatu kaedah yang mampu menarik minat pelajar antarabangsa untuk mempelajari bahasa Melayu dan mengekalkan motivasi pelajar.\nYang terkini, antara aplikasi teknologi pembelajaran yang dapat digunakan untuk memperkukuh pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa asing dalam bentuk yang menyeronokkan termasuklah chatbot kecerdasan buatan.\nDalam makalah \u201cApplying AI Chatbot for Teaching a Foreign Language: An Empirical Research\u201d, Nghi dan rakan-rakan mendapati bahawa penggunaan chatbot kecerdasan buatan bukan sahaja dapat meningkatkan motivasi pelajar dalam pembelajaran bahasa asing, malah dapat membantu pelajar memahami aspek tatabahasa dalam suasana pembelajaran yang santai dan menyeronokkan.\nPembelajaran bahasa asing berasaskan chatbot kecerdasan buatan juga dapat memberikan pengalaman pembelajaran baharu kepada pelajar. Tugasan percakapan yang disediakan dalam chatbot kecerdasan buatan juga mampu meningkatkan prestasi kemahiran bertutur pelajar. Kajian Nghi dan rakan-rakan ini juga mendapati bahawa chatbot kecerdasan buatan dapat membantu pelajar mempelajari bahasa asing pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.\nIstilah chatbot merujuk program komputer yang menyediakan perkhidmatan melalui dialog. Pada peringkat awal, chatbot menggunakan mekanisme padanan kata kunci atau mekanisme pemprosesan bahasa semula jadi. Seiring dengan kemajuan teknologi komputer dan pengecaman pertuturan, teknologi antara muka interaktif suara (voice interactive interfaces) mula muncul. Oleh sebab itu, Chatbot telah mula digunakan sebagai ejen perbualan.\nHwang dan Chang dalam makalah \u201cA Review of Opportunities and Challenges of Chatbots in Education\u201d mendapati bahawa penggunaan chatbot dalam dunia pendidikan mula berkembang pesat dan digunakan dalam pembelajaran formal dan tidak formal. Dengan adanya kemajuan teknologi kecerdasan buatan, mesin pembelajaran dan teknologi bahasa semula jadi digunakan untuk membangunkan chatbot pendidikan. Menerusi penggunaan kecerdasan buatan, chatbot akan menjadi pembantu pengajar yang pintar pada masa hadapan.\nPerkembangan ini akan menggalakkan guru untuk menggunakan chatbot pendidikan berasaskan kecerdasan buatan dalam aktiviti pembelajaran yang terbukti mampu meningkatkan kemahiran berkomunikasi secara berpasangan dan menambah baik kecekapan belajar. \u00a0Hal ini berlaku disebabkan oleh pelajar yang mempunyai peluang untuk belajar dalam suasana yang menyeronokkan melalui interaksi waktu nyata.\nDengan kemunculan dan perkembangan chatbot kecerdasan buatan yang semakin rancak dalam dunia pendidikan di seluruh dunia, pengajaran bahasa Melayu kepada pelajar antarabangsa di IPT Malaysia akan bertambah menarik dan berkesan. Penggunaan chatbot kecerderasan buatan yang fleksibel dan mudah dicapai ini akan meningkatkan motivasi pelajar antarabangsa untuk mempelajari bahasa Melayu.\nPada masa yang sama, chatbot kecerdasan buatan dapat membantu pihak IPT dan pengajar Kursus Bahasa Melayu untuk melaksanakan pembelajaran bahasa Melayu secara tidak segerak (asynchronous) dengan lebih sistematik dan berkesan.\nSehubungan dengan itu, Fryer dan rakan-rakan dalam makalah \u201cBots for Language Learning Now: Current and Future Directions\u201d menyarankan agar pereka chatbot kecerdasan buatan bekerjasama dengan penyelidik dalam bidang pendidikan. Kerjasama ini bertujuan untuk menghasilkan chatbot kecerdasan buatan bagi pembelajaran bahasa asing yang berkualiti dengan mengintegrasikan pelbagai isi kandungan, strategi pembelajaran dan reka bentuk yang bersesuaian.\nSecara tidak langsung, pembangunan dan penggunaan chatbot kecerdasan buatan untuk pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa asing dapat memenuhi aspirasi Dasar e-Pembelajaran Negara 2.0, iaitu menghayati pembelajaran sepanjang hayat dan pembelajaran secara dalam talian tahap global. Selain itu, penggunaan chatbot kecerdasan buatan ini juga dapat mempercepat inovasi dan penerimagunaan Revolusi Perindustrian Keempat seperti yang dihendaki oleh Kerajaan Malaysia melalui Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara. Muhammad Zuhair Zainal ialah Pensyarah Kanan Pendidikan Bahasa Melayu di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia." "Memahami Sastera Popular\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nChe Abdullah Che Ya mengupas sastera popular daripada buku kajian Sastera Popular: Antara Komersialisme dengan Intelektualisme.\nKurangnya kajian dan penulisan tentang sastera popular menyebabkan definisi dan konsep sastera popular terus diperkatakan.\nIsu sastera popular bukan isu baharu dalam arena kesusasteraan negara. Isu ini sering kali dibicarakan oleh pengkaji kesusasteraan, baik tentang konsep mahupun permasalahan lain, seperti moral dan pendidikan. Tulisan-tulisan itu biasanya memberikan tanggapan yang agak negatif terhadap sastera popular, seperti bersifat komersial dan mementingkan keuntungan.\nKurangnya kajian dan penulisan tentang sastera popular menyebabkan definisi dan konsep sastera popular terus diperkatakan. Menyedari situasi ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengambil langkah menganjurkan bengkel khusus bagi membincangkan sastera popular, baik dari sudut konsep mahupun pemikiran dan nilai sastera. Untuk tujuan itu, DBP telah menganjurkan dua bengkel, iaitu Bengkel Kajian Novel Popular di Malaysia pada tahun 2006 dan Bengkel Konsep Sastera Popular Malaysia pada tahun 2009. Kedua-dua bengkel tersebut cuba untuk merungkaikan isu yang berkaitan dengan pendefinisian dan juga untuk menentukan garis pemisah antara konsep, genre dan isu sastera popular dengan sastera serius atau sastera tulen (Misran Rokimin, 2020:xi).\nKertas kerja yang dibentangkan oleh sarjana tempatan dalam kedua-dua bengkel tersebut telah diterbitkan pada tahun 2020, dengan tajuk Sastera Popular: Antara Komersialisme dengan Intelektualisme. Buku ini dibahagikan dalam dua bahagian. Bahagian I mengandungi sembilan kajian tentang konsep sastera popular dan Bahagian II pula memuatkan 15 kajian teks novel popular yang dihasilkan oleh penulis negara. Perbincangan-perbincangan yang dilontarkan oleh penulis banyak memberikan manfaat, khususnya dalam menentukan definisi dan konsep sastera popular.\nTerdapat karya serius yang memiliki ciri popular dan terdapat juga karya popular yang memiliki ciri serius, seperti terdapat unsur ilmu dan pendidikan.\nBahagian I mengandungi sembilan buah kertas kerja yang membincangkan tentang konsep sastera popular dari perspektif Barat dan Malaysia. Konsep sastera popular secara langsung dibincangkan oleh Hashim Ismail melalui kajian beliau, \u201cBenarkah Kegagalan Artistik adalah Kejayaan Popular?\u201d, Saleeh Rahamad melalui tulisan beliau, \u201cSastera Popular dan Potensinya dalam Pengajian Akademik\u201d, Mohd. Hanafi Ibrahim, \u201c Sastera Popular dalam Jalur Kesusasteraan Melayu\u201d, dan Mohamad Mokhtar Hassan, \u201cSastera Popular: Satu Kajian Perbandingan\u201d. Hashim Ismail telah melihat hubungan sastera popular dengan budaya popular dalam memahami konsep dan definisi budaya popular. Hashim banyak membincangkan pendapat sarjana luar negara, khususnya dari Afrika dan Amerika tentang konsep budaya dan sastera popular, seperti Gilert Seldes, M.Thomas Inge dan lain-lain. Dalam memahami kosep sastera popular ini, beliau telah mengemukakan tulisan Reddy (1974) yang mengariskan konsep sastera popular India, iaitu:\n(2020:16)\nHashim turut menampilkan beberapa kajian lain, seperti Emmanuel Obiechina (1973) di Afrika. Dalam kajiannya, Obiechina menyatakan sebarang bentuk sastera yang berhubung dengan rakyat hendaklah mempunyai tiga elemen penting, iaitu mesti mudah dari segi bahasa dan teknik, mesti bersifat umum, dan harganya mesti murah. Hashim menegaskan bahawa pada tahun-tahun 1970-an, budaya popular, seni tinggi dan sastera popular mendapat perhatian ahli akdemik di Afrika, Amerika dan England.\nMuhammad Saleeh Rahamad melalui kertas kerja beliau, \u201cSastera Popular dan Potensinya dalam Pengajian Akademik\u201d menegaskan, dalam membincangkan konsep dan definisi sastera popular, pengkaji memperlihatkan kesukaran untuk memberikan definisi yang tepat kerana terdapat pertindihan ciri antara sastera popular dengan sastera serius. Dalam hal ini, terdapat karya serius yang memiliki ciri popular dan terdapat juga karya popular yang memiliki ciri serius, seperti terdapat unsur ilmu dan pendidikan.\nDalam menentukan konsep dan definisi ini, kebanyakan pengkaji menggariskan beberapa hal yang diambil kira dalam menentukan definisi sastera popular, iaitu karya tersebut dianggap popular sekiranya dibaca oleh ramai pembaca. Tujuan pembacaan adalah sebagai hiburan kerana karya ini bersifat hiburan. Mohamad Mokhtar Hassan mengariskan empat perkara yang diambil kira dalam menentukan konsep dan definisi sastera popular, iaitu:\nUntuk memahami konsep sastera popular ini, pengkaji turut melihatnya dari pelbagai aspek. Kamariah Kamaruddin telah melihat konsep sastera popular melalui tema yang dikemukakan oleh pengarang. Kamariah melalui kertas kerja beliau, \u201cTema dalam Novel-novel Popular: Analisis terhadap Novel-novel Pilihan Norhayati Ibrahim\u201d menjelaskan bahawa tema cinta menjadi tema utama dalam novel popular Malaysia. Selain tema cinta, tema-tema lain termasuklah tema perjuangan wanita, khususnya dalam alaf baharu ini dan tema kehidupan warga kota.\nMelihat konsep dari sudut tema turut dilakukan oleh Misran Rokimin melalui tulisannya, \u201cAspek Kepengarangan Dua Penulis Muda: Novel Popular dan Novel Serius\u201d. Dalam penulisan beliau, Misran telah membandingkan karya popular yang dihasilkan oleh Ahadiat Akashah dengan karya serius yang dihasilkan oleh Faisal Tehrani. Walau bagaimanapun, Misran membandingkan kedua-dua karya ini bukan sahaja dari aspek tema tetapi turut melihat dari aspek plot dan gaya bahasa. Kajian beliau memperlihatkan wujud perbezaan anatara dua genre ini di mana karya popular lebih banyak membawa kisah kehidupan harian, manakala karya serius membawa isu yang lebih besar.\nTeks ini juga dapat memperbetul tanggapan negatif terhadap sastera popular, kerana sebalik kelemahannya, karya sastera popular turut berbicara tentang moral, pendidikan dan pegangan agama.\nPerbandingan antara novel popular dengan novel serius secara langsung dikemukakan oleh Talib Samat melalui kajiannya, \u201cPerandingan Novel Popular dengan Novel Serius\u201d. Kajian perbandingan Talib agak menyeluruh dari aspek kepengarangan, tema dan persoalan, struktur novel, strategi naratif. Kajian turut menyentuh tentang bentuk novel, penerbit, jumlah cetakan, dan strategi pemasaran. Bagi beliau, kedua-dua genre ini, baik serius mahupun popular berguna dalam perjuangan memanusiiakan jiwa manusia di saat manusia semakin hilang sifat-sifat kemanusiaan. Berbeza daripada pengkaji lain, Talib melihat kepentingan sastera popular yang seirang dengan kepentingan karya serius. Mohammad Fadzeli Jaafar pula melalui kertas kerja beliau, \u201cKarya Serius vs Karya Popular: Analisis Aspek Gaya Bahasa\u201d. Beliau melihat secara perbandingan antara karya serius dengan karya popular dari aspek bahasa, seperti leksikal, gramatikal, kiasan, konteks, dan perpaduan. Mohammad Fadzeli telah memperlihatkan perbezaan yang ketara antara karya popular dengan karya serius dari semua aspek.\nSebagai rumusan pada perbincangan konsep sastera popular di Malaysia oleh tokoh-tokoh di atas, dapat disenaraikan tujuh ciri tentang novel popular tempatan. Pertama, novel popular haruslah digemari ramai. Meskipun ada pertikaian juga sama ada konteks popular itu mendapat sambutan atau ditentukan oleh ciri-ciri lain, seperti tema dan persoalan, gaya bahasa dan sebagainya. Kedua. novel popular bersifat komersial. Penghasilannya bermotifkan keuntungan. Justeru, novel popular akan melihat pembaca sebagai pembeli. Penerbitannya akan cenderung mengikut kehendak pembaca. Ketiga, penghasilan novel popular akan dikawal oleh persekitaran. Penulis akan menghasilkan karya berdasarkan kehendak pembaca, bukan apa yang ingin mereka perkatakan. Keempat, novel popular akan mewujudkan dunia persedo, iaitu dunia yang penuh dengan kepura-puraan. Yang digambarkan ialah kehidupan mewah yang indah-indah. Kelima, dunia pembaca dikecilkan. Novel popular akan mengecilkan dunia pembaca kerana ceritanya berkisarkan hal yang sama dan plot cerita berada dalam putaran yang sama. Keenam, novel popular juga terpisah daripada ikatan tradisi. Banyak karya popular melanggar norma dan kepercayaan yang dipegang oleh masyarakat selama ini. Hal ini terjadi kerana pengarang sekadar memenuhi kepuasan dan selera pembaca. Terakhir, novel popular akan membawa pembaca ke sebuah dunia yang tersendiri yang penuh dengan imaginasi dan fantasi yang bebas daripada realiti.\nBuku Sastera Popular: Antara Komersialisme dengan Intelektualisme menjanjikan pengetahuan dan pemahaman yang hampir lengkap tentang sastera popular. Hal ini akan banyak membantu khalayak sastera kerana kurangnya buku-buku yang membicarakan sastera popular dalam persada kritikan tempatan. Teks ini juga dapat memperbetul tanggapan negatif terhadap sastera popular, kerana sebalik kelemahannya, karya sastera popular turut berbicara tentang moral, pendidikan dan pegangan agama, baik secara langsung mahupun tidak langsung.\nNamun begitu, DBP dan penerbitan lain juga harus memastikan penerbitan karya tidak terlalu jauh dengan waktu penulisan agar bahan yang ditulis tidak terasa ketinggalan. Dalam isu sastera popular misalnya, sekarang ada isu yang lebih besar seperti karya-karya yang diterbitkan oleh Fixi dan penerbit-penerbit persendirian. Memandangkan kajian yang dilakukan dalam teks ini telah melebihi 10 tahun, adalah menjadi harapan DBP atau pihak-pihak lain meneruskan penerbitan kajian mengenai sastera popular kerana hakikatnya, karya sastera popular turut memainkan peranan besar dalam jalur perkembangan sastera tanah air.\n_________________________\nChe Abdullah Che Ya merupakan pensyarah kanan Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia." "DBP-GAPENA Terus Kerjasama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Seramai 14 orang penulis diumumkan sebagai pemenang Sayembara Penulisan Puisi 50 Tahun GAPENA dalam majlis ringkas bersempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan ke-50 persatuan penulis nasional itu hari ini.\nDaripada jumlah itu, empat orang penulis diumumkan sebagai pemenang hadiah utama, iaitu Shapiai Muhammad Ramly, Mohd Rosli Nik Mat atau Rosli K. Matari, Solihin Osman, dan Md. Yusof Ali atau Ria Asmira.\nSebagai pemenang hadiah utama, mereka menerima wang tunai RM1000 setiap seorang dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Tuan Haji Md. Johari Hasan.\nSayembara itu diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-50 GAPENA dan semua karya pemenang dibukukan dalam Antologi Pemenang Sayembara Puisi 50 Tahun GAPENA, Kalau Kau Hawa Berikan Aku Cinta.\nSementara itu, YBhg. Tuan Haji Md. Johari dalam ucapan perasmian berkata, DBP dan GAPENA mempunyai hubungan yang erat, malah DBP sentiasa bersama dalam kegiatan GAPENA, sama ada dalam skala besar atau kecil. \u201cDBP ditubuhkan pada 22 Jun 1956 hasil inisiatif para pejuang bahasa dan sastera. Jadi sudah sewajarnya DBP mendukung gerakan golongan penulis yang bergabung dengan GAPENA,\u201d katanya.\nTegas YBhg. Tuan Haji Md. Johari, GAPENA sebagai badan bukan kerajaan yang tidak mendapat bantuan dana daripada mana-mana pihak perlu dihargai. Apatah lagi dalam keadaan penularan COVID-19 yang belum berakhir, GAPENA tetap gigih mengadakan aktiviti secara bersemuka dengan pematuhan pada prosedur operasi standard (SOP)\u00a0 yang ketat.\n\u201cBagi pihak DBP, saya mengalu-alukan sebarang cadangan untuk bekerjasama dalam acara GAPENA pada masa akan datang.\n\u201cSaya dimaklumkan bahawa GAPENA sedang merancang untuk meneruskan acara tradisinya seperti Hari Puisi Nasional, Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan dan lain-lain.\n\u201cSebarang cadangan perlu dikemukakan lebih awal supaya memudahkan kami membantu secara terancang,\u201c katanya.\nSelain pemenang utama, turut dipilih ialah 10 penerima hadiah pemenang, iaitu Adam Bakhtiar Buck Lee Abdullah, Dr. Aminudin Mansor atau Ami Masra, Hasnah Yusoff, Ja\u2019afar Haji Hamdan, dan Muhammad Fawwaz Mohd Fitri.\nTurut diumumkan sebagai pemenang ialah Ramlan Abdul Wahab, Rohana Karno, Ross Nina Ahmad, Shazmee Rizal [email\u00a0protected], dan Zalina Ahmad.\n\nTonton majlis perasmian penuh di sini." "Penglipur Lara dalam Era Digitalisasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJohor Bahru \u2013 Yayasan Warisan Johor amat giat menjalankan aktiviti berunsur sejarah, seni dan budaya dalam usaha memelihara dan memperjuangkan warisan Johor. Antara aktiviti terbaharu yang dijalankan ialah Bicara Sastera Lisan Negeri Johor: Warisan Bangsa Merentas Zaman yang telah berlangsung pada 21 November jam 10.00 pagi secara dalam talian melalui laman Facebooknya.\nTiga panel dijemput untuk membicarakan sastera lisan dari pelbagai aspek. Mereka ialah Profesor Madya Dr. Roslina Abu Bakar, Pensyarah Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Dr. Madiawati [email\u00a0protected], Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, dan Dr. Rohaya Md. Ali, Pensyarah Kanan Unit Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu, Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Utara Malaysia. Bual bicara ini dikendalikan oleh Dr. Zubir Idris, pensyarah kanan Universiti Kebangsaan Malaysia.\nMenurut Dr. Roslina selaku panel pertama, apabila menyebut sastera lisan, hal itu terkait rapat dengan fungsi \u201cpenglipur lara\u201d. Tonggak utama yang menghidupkan sastera lisan ialah penglipur lara. Sesuai dengan maksud \u2018penglipur\u2019, iaitu menghiburkan dan \u2018lara\u2019 pula bermaksud duka atau kesedihan di hati. Justeru, peranan penglipur lara ialah menghiburkan masyarakat yang berduka lara dengan bahasa yang indah berpandukan sumber-sumber alam yang segar. Lazimnya juga, dalam menyampaikan cerita-cerita sastera lisan, seseorang penglipur lara akan menitipkan pantun semasa bercerita. Oleh hal yang demikian, seni berceritanya akan terlihat segar, menarik minat dan menjadi tumpuan masyarakat pada zaman tersebut.\nKekuatan dan kelebihan sastera lisan sangat banyak membentuk individu hidup secara berkumpulan, mendengar adat, budaya, maklumat, pengajaran, dan juga memperoleh ilmu kawalan sosial. Nyanyian rakyat, aktiviti berbalas pantun dan hidangan cerita-cerita rakyat seperti \u201cSang Kancil\u201d, \u201cJula Juli Bintang Tujuh\u201d dan sebagainya, ialah sumber asas yang membentuk jati diri, nilai kesopanan dan seni bergaul dalam diri anak-anak kecil dan anak-anak muda pada ketika itu. Justeru, penglipur lara memainkan peranan yang sangat penting dalam masyarakat, khususnya masyarakat dahulu kala.\nManakala Dr. Madiawati Mamat pula melihat telah berlakunya perubahan tradisi lisan kepada bentuk digitalisasi pada sastera rakyat era kini. Perubahan yang melintasi satu jangka masa tertentu ini dipersembahkan dalam pelbagai bentuk, yang dapat dinikmati oleh generasi muda masa kini. Meskipun penyampaian \u201csastera lisan\u201dnya bukan lagi disampaikan oleh penglipur lara, namun matlamatnya sampai dalam bentuk yang berbeza.\n\u201cLagu Rakyat misalnya, mempunyai fungsi yang merangkumi kehidupan manusia. Seperti lagu Buai Laju-laju, ia sesuai dengan usia dan berfungsi sebagai hiburan kepada bayi yang sering didodoikan semasa dalam buaian,\u201d ujar Dr. Madiawati.\nAntara lain termasuk lagu Anak Itik Tok Wi, Can Ma Li Can, Injit-injit Semut dan pelbagai lagi. Lagu-lagu tersebut dipopularkan dengan pelbagai tema, rentak baharu dalam pelbagai wadah penyampaian, namun tidak sampai mengubah teks asal. Hal ini secara tidak langsung dilihat membentuk sosialisasi masyarakat yang sesuai dengan zamannya.\nTerkini, siri animasi popular Didi and Friends mengambil inisiatif memperkenalkan lagu-lagu rakyat melalui slot-slot yang ditayangkan di saluran Astro. Sambutannya bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak bahkan memancing minat orang dewasa juga. Siri animasi Upin dan Ipin dan Pada Zaman Dahulu yang menampilkan koleksi cerita Sang Kancil dipersembahkan dengan gaya animasi yang lebih segar. Meskipun tidak terlihat fungsi penglipur lara secara tradisional, namun peranan\u00a0 watak penyampai seperti \u201cTok Aki\u201d dalam cerita Pada Zaman Dahulu telah mengambil peranan penglipur lara itu. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga turut mengambil peranan penting menghidupkan sastera lisan pada era digital melalui cerita animasi Unggas. Kesemua usaha ini tidak wajar dikesampingkan, tambahan pula ia diusahakan oleh anak-anak tempatan.\nDr. Rohaya Md. Ali pula menambah, \u201cKita kenal sastera rakyat Inggeris melalui adaptasi sejak lama dahulu. Itulah usaha orang-orang Barat memupuk nilai tradisi budaya warisan bangsa mereka kepada masyarakatnya. Di Malaysia, sastera rakyat secara lisan berlaku perubahan apabila disalin dengan tulisan Jawi. Kemudian, dirumikan dalam bentuk buku atau teks dan kini, didigitalkan. Adaptasi digital laris di pasaran.\u201d\nAntara filem hasil karya adaptasi ialah Magika (2010), sebuah filem muzikal fantasi. Filem itu mengadun kisah dongeng, mitos dan lagenda, membawa khalayak penonton memasuki imbauan zaman silam. Meskipun berlaku pengubahsuaian, namun filem tersebut tidak menghilangkan nilai daripada teks asal.\nPada akhir bual bicara, ketiga-tiga panel menyimpulkan bahawa penglipur lara tidak dapat diwariskan dalam era kini kerana masyarakat sudah kepupusan tukang cerita, yang kebanyakannya merupakan warga tua yang telah uzur. Hal ini lebih sukar apabila bahan-bahan yang disimpan oleh sesebuah keluarga yang mewarisi kisah-kisah lipur lara daripada datuk dan nenek moyang mereka telah rosak, sama ada dalam bentuk pita rakaman atau salinan bertulis.\nJusteru, usaha yang dilakukan oleh pengamal industri kreatif perlu disokong. Jika berlaku tokok tambah atau ubah suai teks dan cerita dalam bentuk baharu, hal itu bergantung pada pertimbangan pengamal industri kreatif. Seperti kisah \u201cSi Tanggang\u201d, meskipun sarat pengajaran namun dari segi psikologi kanak-kanak, cerita ini tidak sesuai dengan minda mereka, apatah lagi untuk menontonnya. Barangkali pengamal industri kreatif ada cara tertentu untuk mengubahnya dalam era baharu kini.\nTonton bicara sastera ini di sini." "Hang Tuah Adiwira Bangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGeorge Town \u2013 Bicara tentang Hang Tuah menjadi salah satu topik yang dibincangkan dalam George Town Literary Festival pada 27 November, Sabtu jam 2.00 hingga 3.00 petang. Antara tetamu undangannya ialah YB Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam yang menulis buku Hang Tuah Adiwira Bangsa (SIRD, 2021), sebuah buku esei kajian\u00a0 dan perbincangan tentang watak besar sastera ini sebanyak 139 halaman. Di samping itu, turut diundang Sasterawan Negara ke-6 Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh. Program tersebut dikendalikan oleh Raihani Mohd. Saaid.\n\u201cHang Tuah berasal dari Riau dan keturunan Orang Laut. Kita patut berbangga dengan Hikayat Hang Tuah kerana sastera bahasa Melayu adalah antara sastera terbesar di dunia. Tiada karya yang membawa watak dari satu negeri ke satu negeri melainkan kisah Hang Tuah. Bererti, Hang Tuah mengembara dengan mengembangkan namanya,\u201d ujar Muhammad Haji Salleh ketika ditanya siapa Hang Tuah.\nKata beliau lagi, \u201cHang Tuah menguasai pelbagai jenis bahasa dan pengetahuannya berlapis-lapis. Tiada di dunia ini karya sehebat kisah Hang Tuah.\u201d\nSteven pula menjelaskan idea awal keinginan menulis buku tentang Hang Tuah telah timbul sejak lama dahulu melalui pembacaannya dalam naskhah besar Hikayat Hang Tuah. \u201cSaya melihat Hang Tuah sebagai ikon perdamaian sosial. Gambaran yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah dengan dunia realiti tidak sama. Hang Tuah bukanlah seorang yang meletakkan kesetiaan membuta tuli kepada rajanya,\u201d ujar beliau.\n\u201cHikayat Hang Tuah ialah karya historiografi Melayu. Ia tentang kisah orang biasa. Bukan kisah orang yang dilahirkan terus menjadi hebat tetapi Hang Tuah membesar dengan pengalamannya, menjadi orang yang hebat. Hang Tuah juga rakyat biasa yang bangkit daripada kesusahan, menyayangi rakyat dan juga bangsanya. Hikayat Hang Tuah ialah satu pesanan buat kita. Ia bukanlah sebuah biografi suci. Ada kritikan terhadap penguasa yang sesuai dijadikan pengajaran. Mana-mana rakyat atau bangsa yang sanggup bangkit harus kita contohi,\u201d jelas beliau.\nMenurut Steven juga, ramai bangsa yang menuntut Hang Tuah. Hatta orang Cina juga menuntut Hang Tuah dan pernah menyatakan bahawa Hang Tuah itu asal namanya ialah \u2018Hang Tu-A\u2019. Namun demikian, inilah gambaran betapa Hang Tuah diterima dan disukai oleh semua bangsa dan kaum. Hal ini adalah kerana, Hang Tuah bukanlah hidup dalam korpus Melayu semata-mata. Sebaliknya, Hang Tuah tidak taasub pada ketulenan bangsa. Bahkan sanggup mendakapi budaya lain dan tidak bersikap menghakimi. \n\u201cHang Tuah tidak hilang Melayunya dalam mempelajari budaya asing,\u201d tegas beliau mengakhiri bicara.\nManakala Muhammad Haji Salleh berpendapat ketika ditanya mengapa Sultan Melaka menitahkan Hang Tuah dihukum bunuh tanpa usul periksa, \u201cSultan tidak terbuka dan tidak dapat menangkap budi pekerti Hang Tuah hingga akhirnya menitahkan beliau dihukum bunuh. Demikian menunjukkan kuasa teratas tidak juga betul dan tidak semestinya adil. Tambahan pula, dalam ruang lingkup masyarakat kita suka mengada-adakan cerita dan yang tiada dibuat-buat pula. Apabila menghayati Hikayat Hang Tuah, kita dapat melihat hukuman terhadap Hang Tuah itu adalah satu kesalahan yang besar telah berlaku kepada orang yang baik.\u201d\nBual bicara ini boleh ditonton di laman rasmi Facebook George Town Literary Festival.\nTonton bual bicara penuh di sini.\nBeli buku Hang Tuah Adiwira Bangsa dan Hikayat Hang Tuah.\nArtikel Berkaitan |\nGTLF 2021: Dari Cermin Tilik ke Mikro-Cosmos" "Sasterawan Negara kepada Generasi Sastera Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebuah acara mengumpulkan Sasterawan Negara di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur semalam (28 November 2021, Ahad) dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka bersama CENDANA dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, di bawah sebuah program kolektif kebudayaan dan kesenian, KLWKND produksi Joe Sidek Productions.\nMenempatkan empat Sasterawan Negara yang kini masih bergiat aktif dalam ranah persuratan tempatan, iaitu Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, Dato\u2019 Dr. Mohd Anwar Ridhwan, Datuk Dr. Zurinah Hassan, dan Datuk Dr. Siti Zainon Ismail di bawah satu bumbung dan di atas sebuah pentas, mereka diajak untuk berkongsi pengalaman dan citra kepengarangan mereka.\nSeiring dengan nama Memperkenalkan Sasterawan Negara, acara ini dianjurkan sebagai sebuah peluang buat generasi peminat dan penggiat sastera baharu agar dapat mengenali jiwa kepengarangan dan bersua muka dengan para Sasterawan Negara.\nLebih-lebih lagi pada era pandemik kini, peluang untuk menemui mereka adalah terbatas, malah sudah menghampiri dua tahun acara-acara fizikal telah ditangguhkan, termasuklah acara kesusasteraan.\n\u201cProgram ini adalah untuk kita lebih mengenali akan jiwa dan misteri kepengarangan para Sasterawan Negara, yang bagi saya merupakan aset dan khazanah negara kita yang sangat berharga,\u201d ujar Saifullizan Yahaya sebagai pengemudi bicara itu, semalam.\nProf. Muhammad Haji Salleh, berkongsi pengalaman menuntut ilmunya yang memaksa beliau melangkah kelana ke negara-negara luar.\n\u201cSewktu saya menjadi seorang pelajar di negara luar, saya juga turut merakamkan pengalaman hidup di sana, proses demokrasi, proses demonstrasi, malah manusia yang lalu lintas di hadapan saya pun turut dijadikan modal catatan,\u201d jelas Prof. Muhammad.\nJelas beliau, pengalaman sebegini walaupun jauh dari bumi Malaysia, memupuk lagi semangat kecintaan beliau kepada bahasa dan budaya Malaysia.\nDatuk Dr. Siti Zainon Ismail juga turut berkongsi pengalaman yang mendorong beliau untuk bergiat dalam ranah sastera.\n\u201cSaya mula menulis sebagai satu perkhidmatan buat orang-orang yang rapat dengan saya, sebagai salah satu luahan terima kasih dan bakti,\u201d ujar beliau.\nBeliau juga turut memberikan kredit buat kota yang beliau diami, Kuala Lumpur. Katanya, persekitaran Kuala Lumpur memainkan peranan penting yang mendorong beliau mula membelek buku-buku dan karya sastera.\n\u201cAyah saya sering membawa pulang buku yang dibeli di kedai-kedai buku. Saya juga belajar di Kuala Lumpur, dan ayah saya akan mengheret saya ke kedai-kedai buku yang banyak di sini.\u201d\nPada masa yang sama, Dr. Siti Zainon juga rapat dengan bidang seni lukis, dan masih bergiat dalam aktiviti kesenian itu. Perjalanan beliau dalam dunia penulisan dan sastera berjalan seiring dengan langkah seni lukis beliau. \u201cPuisi mengalir dengan seni lukis,\u201d ujar beliau.\nDatuk Dr. Zurinah Hassan turut meluahkan cerita bagaimana beliau mula terpupuk sebagai karyawan \u201ckampung\u201d tapi berfikiran \u201cmoden\u201d. Karya-karyanya yang mengangkat peranan dan perasaan wanita dalam dunia moden menjadi tunjang utama, malah karyanya membangkitkan perjuangan hak wanita dalam zaman dan arus yang beliau duduki.\n\u201cSaya tidak duduk di bandar, membesar di kampung, dan kehidupan saya yang tidak ada apa dari kecil telah mendorong saya untuk menulis dengan cara yang tersendiri.\u201d\nManakala Dato\u2019 Dr. Anwar Ridhwan pula sempat berceloteh akan keperibadian beliau pada awal usia, apabila pengalaman menulisnya bermula daripada sesi kuliah di menara gading.\nSebagai seorang pengarang, beliau sewaktu muda banyak membaca karya-karya eksperimental, dan karyanya ketika itu juga secara tidak langsung bersifat sedemikian. Pemilihan diksi dalam sesebuah karya sastera ialah modus utamanya ketika berkarya kerana baginya, kekuatan bahasa merupakan kekuatan utama yang paling penting dalam seseorang pengarang.\nDiselangi persembahan lunak dan merdu gurindam serta nazam oleh Noor Amaliana Noor Kamaruzzaman, para Sasterawan Negara juga sempat membuat persembahan masing-masing, dimulakan dengan Dato\u2019 Anwar Ridhwan membacakan fragmen daripada karya beliau, Penyeberang Sempadan, kemudian Datuk Dr. Zurinah Hassan membacakan puisi beliau yang bertema Kuala Lumpur, \u201cHujan di Kuala Lumpur\u201d dan \u201cSenja di Kuala Lumpur\u201d. Seterusnya, Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail mendeklamasikan puisi \u201cSeorang Tua Selepas Hujan\u201d, dan Noor Amaliana membacakan teks autobiografi karangan Prof. Muhammad Haji Salleh.\nPara Sasterawan Negara juga menyuarakan harapan mereka terhadap ranah sastera negara. Prof. Muhammad menegaskan kepentingan untuk membuka ruang buat sastera luar. Beliau menengahkan juga bahawa potensi sastera Melayu, akarnya lebih besar daripada sastera-sastera negara lain.\n\u201cUntuk masa hadapan, kita harus buka pintu kepada bandar (sastera dan negara) luar, tidak boleh duduk di kampung lagi,\u201d ujar Muhammad Haji Salleh.\nDatuk Siti Zainon pula menyeru buat pihak-pihak berkaitan untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu, juga mengukuhkan lagi premis bahasa dan sastera tempatan.\nBegitu juga Datuk Dr. Zurinah Hassan, beliau menyeru agar kemajuan diri dan citra sastera negara harus dibangkitkan seiring dengan zaman. Harapan ini juga diangkat oleh Dato\u2019 Anwar Ridhwan yang berhadapan dengan generasi muda, maka beliau menanamkan harapan dan cita-cita untuk penggiat sastera supaya dapat bergabung tenaga dan membentuk penggunaan sastera dalam era teknologi dan digital.\nSelain itu, Sasterawan Negara Anwar Ridhwan sempat menegaskan agar sistem pendidikan Malaysia dapat mengukuhkan dan menambah baik lagi peranan dan pembabitan bidang kesusasteraan, kerana masyarakat sesebuah negara dibentuk melalui pendidikan awal.\nTonton program penuh di sini." "Takat Kebebasan Penulis Menggarap Cerpen\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nCerpen era pascamerdeka melahirkan karya yang pelbagai bentuk dan gaya, yang cuba mengubah warna kesusasteraan Melayu kontemporari. Dalam George Town Literary Festival 2021 (GTLF21), sebuah bual bicara yang dikongsi oleh Hafizah Iszahanid, Ruhaini Matdarin, Azrin Fauzi, dan Sheera Ghafar dikongsikan kepada pelayar internet melalui audio siar di Spotify rasmi GTLF21 dengan tajuknya, \u201cCerpen: Alam Nyata dan Tak Nyata\u201d.\nGTLF berlangsung pada 25 \u201328 November dengan program-program yang mengangkat wacana sastera dan budaya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Ekoran pandemik, penganjur mengadakan program secara hibrid, sebahagiannya secara dalam talian seperti audio siar, video siar dan sebahagian lagi secara fizikal di lokasi rasminya, George Town, Pulau Pinang.\nDalam perbualan mengenai cerpen itu, Hafizah iszahanid sebagai pengelola menyalurkan platform buat para panel membicarakan idea dan pendapat mereka perihal cerpen. Khususnya, dalam perbahasan mengenai kebebasan mengarang cerpen yang diangkat oleh para bicarawan.\nBicarawan pertama, Ruhaini Matdarin menyatakan bahawa cerpenis tidak harus terikat dengan apa-apa konsep, kerana keterikatan itu akan menghalang kreativiti. Peribadinya, Ruhaini berasa penting buat cerpenis untuk bebas bermain dengan ruang waktu, ruang penceritaan dan memanipulasi subjek dalam karya mereka.\n\u201cCerpen mempunyai radius bercerita yang terhad. Jika dibataskan gaya pengarang, ia akan mengehadkan peluang untuk meneroka.\n\u201cIsu yang diambil dan diangkat oleh cerpenis ialah isu nyata, dan dengan kerja-kerja interpretasi ke dalam bentuk teks yang berbeza, ia mempunyai pelbagai bentuk dan gaya untuk digarap,\u201c ujar beliau.\nRuhaini memilih untuk tidak mengehadkan kebebasan berekspresi dengan apa-apa konsep peribadi atau tahap pemikiran tetapi beliau berpegang pada prinsip \u201cisunya tetap berpijak pada dunia nyata\u201d.\nManakala buat Azrin Fauzi, selain masih menekankan peranan pengarang yang perlu \u201cmeneroka\u201d dan bergerak \u201cbebas\u201d, beliau tidak lari daripada menemui konsep dan suara kepengarangan yang tersendiri.\nPercaya dengan dunia cerpen yang kaya dengan tawaran genre, gaya, rentak dan bahasa, Azrin sebagai cerpenis cenderung untuk meletakkan suara imej dan visual dalam penulisan cerpennya.\n\u201cKerana saya sendiri seorang yang visual,\u201d tambah Azrin.\nApa-apa yang pengarang tawarkan melalui cerpen, juga tidak terhad interpretasinya, kerana pengarang seperti Azrin tidak dapat mengagak apakah reaksi pembaca.\n\u201cPembaca yang datang dari pelbagai latar belakang, maka penerimaan mereka terhadap karya penulis juga rencam.\u201d Justeru, kebebasan dalam berkarya juga mendorong kebebasan dalam membaca.\nBegitu juga buat cerpenis Sheera Ghafar. Beliau lebih \u201ckeras\u201d memilih untuk tidak mengikatkan dirinya pada mana-mana tetapan penulisan, mahupun kriteria pembaca itu sendiri.\n\u201cSecara peribadinya, saya tidak memikirkan apa yang pembaca mahu. Tumpuan penulisan saya adalah pada rasa, pendapat dan idea yang mahu diluahkan.\u201d\nWalaupun begitu, Sheera masih memandang kepentingan buat pembaca untuk mengambil isu-isu sosial yang sememangnya ditunjangkan dalam karya-karya beliau.\nAntara kenyataan yang kuat bergema dalam dunia penulisan kreatif ialah eskapisme dalam penulisan. Cerpen juga berkaitan dalam hal ini kerana sifat cerpen yang bebas dan fleksibel untuk menggarap idea melalui cereka.\nBagi Ruhaini, pada awal dan permulaan perjalanan penulisan, cerpen boleh bermula dengan perasaan ini, tetapi pembentukannya akan berubah. \u201cKecenderungannya akan berubah kepada sesuatu yang lebih serius, walaupun ya, ia klise, tetapi ia akan berubah untuk menulis ke arah hala yang lebih bermanfaat, rasa bertanggung jawab dan keinginan untuk berkarya dengan unsur evergreen,\u201d jelas Ruhaini.\nCerpenis Azrin dan Sheera juga bersetuju akan nilai eskapisme dalam mengarang cerpen agak kontra dengan jiwa mereka. Azrin menganggap penulis memang akan lebih mapan kepengarangannya, segaris dengan penambahan usia.\n\u201cCerpen bukanlah eskapisme, ia sebuah eksplorasi, penerokaan. Saya sendiri sebagai pengarang rasa ingin tahu apa hubungannya dengan pembaca, dan apa hubungannya dengan konteks masa hadapan terhadap teks-teks saya.\n\u201cZaman pandemik merubah pandangan saya. Pemikiran ketika menulis kini cenderung untuk memikiran impak kepada pembaca,\u201d jelas Azrin.\nBegitu juga Sheera. Beliau menegaskan beliau tidak menulis cerpen kerana eskapisme. \u201cMenulis cerpen bukan eskapisme, tapi luahan. Saya cuma mahu pendapat dan idea saya dikeluarkan.\u201d\n\nDengar audio siar perbualan ini di sini.\nArtikel Berkaitan |\nGTLF 2021: Dari Cermin Tilik ke Mikro-Cosmos" "Penerbitan Muara Rakam Hubungan Sastera Antarabangsa dan Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGeorge Town \u2013 Pada tahun ini, festival sastera yang menyatukan sastera dunia di sebuah pulau kecil yang sarat budaya kembali lagi dengan tema Mikro-Cosmos. George Town Literary Festival (GTLF) yang ke-11 ini bermula dari 25\u201328 November 2021.\nPada 27 November yang lepas, majlis pelancaran buku antologi Muara: Confluence/Pertemuan telah berlangsung di Bangunan UAB dan disiarkan secara langsung menerusi Facebook George Town Literary Festival pada pukul 6.00 petang dengan menampilkan empat tokoh yang menjayakan Muara, iaitu Pauline Fan, Izzudin Ramly dan editor Hafiz Hamzah dan Badrul Hisham Ismail.\nIstimewanya, kelahiran Muara merupakan tanda meraikan ulang tahun GTLF yang kesepuluh, hasil daripada usaha sama GTLF dan jurnal Svara bagi merakamkan segala rasa dan warna festival sastera antarabangsa ini. Naskhah dwibahasa Muara menghimpunkan esei, cerpen, puisi, ulasan buku, dan terjemahan karya penulis tanah air, serantau dan seluruh dunia dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.\nKarya yang dimuatkan dalam antologi Muara turut merakamkan ceramah acara GTLF tahun lepas dan barisan penulisnya dipilih bagi menghasilkan koleksi karya yang menyatukan sastera yang rencam dan sentiasa dinamik. Menurut Hafiz Hamzah, beliau berpuas hati dengan kemantapan susunan karya bahasa Melayu penerbitan ini yang menyeimbangkan dan meraikan karya sastera bagi tatapan pembaca pelbagai latar belakang.\nPada akhir sesi pelancaran buku tersebut, puisi para penulis Muara, iaitu Masuma Tavakoli, Nikola Mad\u017eirov, Georg Trakl, dan Thira Mohamad dikongsikan kepada penonton dalam versi asal dan versi terjemahan oleh para penutur bahasa karya asli dan para penterjemah puisi-puisi tersebut.\nBuku Muara: Confluence/Pertemuan boleh didapati menerusi Tintabudi bermula 1 Disember 2021.\nTonton majlis penuh di sini.\nArtikel Berkaitan |\nGTLF 2021: Dari Cermin Tilik ke Mikro-Cosmos" "Majlis Sumbangsih Kemala: Penghargaan Dunia Kepengarangan Kemala\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Majlis Sumbangsih Kemala DBP-Penyair Wanita 70-an telah diadakan di Sudut Karyawan (Stor Teater) Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 29 November 2021, pukul 2.00 petang sebagai menghargai jasa dan sumbangan Allahyarham Kemala. Majlis ini dianjurkan oleh Penyair Wanita 70-an dengan kerjasama DBP dan Surau al-Hukama\u2019 DBP.\nTergetar suaramu di dalam azan,\nKini terserlah,\nBilal menggenggam Tauhid satu\n\u201cTuhanku Esa, Tuhanku Satu.\nAllah, tetap Allah!\nDemikianlah petikan daripada puisi \u201cBilal ibni Rabah\u201c karya Kemala dalam kumpulan puisi \u2018Ayn (DBP, 1983).\nKemala atau nama penuh Sasterawan Negara Dato\u2019 Dr. Ahmad Khamal Abdullah, telah dijemput pulang bertemu pencipta pada 27 Oktober 2021. Berita duka pemergian Kemala dirasai oleh seluruh masyarakat, khususnya rakan-rakan akrab Allahyarham serta pencinta puisi sufi nya. Dunia penulisan Kemala amat dekat dengan alam dan Tuhan. Karya-karya Allahyarham Kemala sarat dengan amanat. Puisi-puisinya sangat puitis, dengan pemilihan kata serta metafora yang indah dan luar biasa. Dunia penulisan dan kepenyairan Kemala membawa masyarakat untuk sentiasa mengingati dan sentiasa berada dekat dengan Pencipta.\nProgram yang menghimpunkan penyair wanita 70-an seperti Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan, Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, Prof. Dr. Asiah Sarji, dan Mahaya Mohd Yassin, dipenuhi dengan pelbagai pengisian seperti bacaan Surah Yasin pimpinan Ustazah Nurul Hidayah Kamaruddin, acara Setitis Kenangan: Bicara Jasa Kemala, Deklamasi Puisi dan wacana dengan tajuk \u201cApakah yang Bernama.\u201d Turut hadir dalam majlis istimewa ini ialah Dr. Fazilah Husin dari Numera, Siti Raihani Md. Saaid, Dr. Rosmani Omar, serta Nor Aini Muhammad yang telah mendeklamsikan puisi karya Kemala.\n\u00a0\nUcapan Perasmian disampaikan oleh Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail. Puan Roziah Md. Yunus, Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum pula menyampaikan ucapan mewakili Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, diikuti dengan ucapan penutup oleh Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan.\nProgram yang diadakan dengan tujuan untuk menghargai sumbangan Allahyarham Kemala dalam dunia penulisan ini turut membicarakan kecemerlangan dan menyingkap pemikiran Kemala dari kaca mata penyair 70-an yang rapat dengan Allahyarham.\nZurinah Hassan menyatakan, \u201cSaya teringat kepada sajak \u2018Pohon\u2019 dan \u2018Pelabuhan Putih\u2019 karya Kemala. Saya melihat bagaimana unsur alam seperi pohon dan pelabuhan telah digunakan oleh Kemala dan sekumpulan penyair Melayu Islam untuk menunjukkan bagaimana pandangan daripada al-Quran telah meresapi jiwa penyair-penyair Melayu, itulah yang berbentuk pemikiran, termasukalah Kemala yang telah menulis sajak pohon dan pelabuhan putih.\n\u201cDalam pohon, Kemala menyatakan bahawa manusia itu seperti pohon, tegak di padang dengan akar yang bersirat, datanglah burung-burung memakan buahnya, memberi manfaat pada alam dan sekelilingnya.\u201d\nMenurut Zurinah lagi, \u201cAgama Islam menjadi teguh di Nusantara ini juga adalah melalui fungsi penulis, yang menggunakan karya atau hasil penulisan untuk mengukuhkan atau menguatkan iman, sama seperti karya-karya penulisan Kemala.\u201d\nDalam majlis ini, Asiah Sarji mencadangkan agar diadakan satu wacana khas untuk merealisasikan pendekatan dakwah melalui karya. Zaiton Ajmain pula menambah agar \u201cdihidupkan kembali\u201d Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur (PPDKL), seperti yang dihasratkan oleh Allahyarham Kemala, kerana PPDKL menjadi jambatan antarabangsa kepada penulis dan penyair untuk bertukar-tukar pandangan dan idea.\n\nMajlis Sumbangsih Kemala yang diadakan ini menjadi penghargaan, ingatan dan doa buat Allahyarham Kemala yang telah mengangkat puisi agama sebagai salah satu cara berdakwah kepada masyarakat. Majlis ini juga menjadi medan untuk berdiskusi tentang kepengarangan Kemala, selain menjadi \u201clangkah awal\u201d pada usaha kumpulan Penyair Wanita 70-an untuk menjejaki kembali rakan-rakan penulis wanita 70-an yang telah lama menyepi dalam dunia penulisan." "IR4.0 dan Cabarannya kepada Pengarang Sastera Islam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu \u2013 Perubahan sezaman dengan ketibaan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) membawa pelbagai kesan baik dan buruk kepada manusia seluruhnya. Tanpa menidakkan kebaikannya, gelombang IR4.0 juga membawa bersama kesan atau kemungkinan negatif yang mampu menggugat iman dan keberadaan jiwa pengarang, dan dalam konteks ini sastera Islam.\nHal ini disebut oleh Profesor Kesusasteraan Bandingan, Universiti Sains Malaysia Datuk Seri Dr. Md. Salleh Yaapar menerusi ucaptamanya \u201cTasawur Islam dan Manhaj Rabbani dalam Sastera Melayu Islami\u201d sempena Nadwah Sastera Islam Serantau yang disiarkan secara langsung di laman sosial, Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka pagi semalam.\nMd. Salleh berkata, kemaraan IR4.0 tidak boleh disekat kerana hal itu ialah sebahagian proses perubahan dalam masyarakat. Ia mula diperkatakan sejak tahun 2016 dengan hampir setiap inci kehidupan manusia akan mendapat tempiasnya.\n\u201cIR 4.0 ialah edisi terbaharu selepas tiga revolusi yang sudah kita jalani, iaitu pada tahun 1784, 1870 dan 1969.\n\u201cIR4.0 ini besar kemungkinan akan terus memperkasakan kecerdasan buatan dan akan merampas pekerjaan manusia,\u201d katanya.\nTegas Md. Salleh, bidang sastera tidak terkecuali malah pada tahun 2016, Jepun sudah menghasilkan cyborg yang mampu menghasilkan novel. Naskhah itu yang berjudul The Day a Computer Writes a Novel hampir memenangi hadiah sastera di negara berkenaan.\nDalam konteks pengarang sastera Islami, Md. Salleh berkata, kemunculan cyborg yang menulis ini tidak menepati ciri-ciri pengarang yang seharusnya, yakni yang berpegang teguh pada ajaran Islam dan beriman kepada Allah.\n\u201cHal ini kerana, karya Islami bukan dihasilkan hanya untuk berseronok atau meningkatkan keuntungan jualan sebaliknya ia adalah untuk mendekatkan penulis dan pembaca dengan ajaran-Nya.\n\u201cCyborg tidak memiliki jiwa dan roh sekali gus tidak mampu mengungkapkan watak hamba dan khalifah Allah, apalagi memenuhi kehendak seni Islam yang murni,\u201d katanya.\nTegas Md. Salleh, perkembangan IR4.0 juga mempelbagaikan bentuk komunikasi yang menyaksikan setiap manusia mampu berhubung antara satu sama lain, bukan sahaja melalui e-mel tetapi pelbagai aplikasi komunikasi yang lain. Hal ini membawa faedah kepada manusia tetapi dalam masa yang sama membawa kesan yang negatif.\nHal ini katanya boleh dilihat dengan kes keruntuhan akhlak dalam kalangan umat Melayu-Islam yang semakin meningkat, begitu juga dengan cubaan penyebaran agama lain kepada umat Islam.\n\u201cTujuan sastera Islam adalah untuk membantu pengarang dan khalayak menjadi insan yang sempurna, iaitu menjadi manhaj rabbani yang diperlukan dalam kegiatan sastera.\n\u201cManhaj Rabbani ini merujuk kepada jalan terang yang membolehkan manusia sentiasa meletakkan Allah SWT sebagai keutamaan dalam matlamat hidupnya dan segala amalannya,\u201d katanya.\nTerdahulu, Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif ketika merasmikan acara itu menyebutkan Islam tidak pernah menolak sastera secara mutlak, justeru setiap pengarang sastera Islam mempunyai akidah yang jelas.\nSastera Islam itu juga katanya meletakkan keutamaan kepada karya yang membawa kesan positif kepada manusia, malah kerja mencari ilmu itu merupakan fardu untuk setiap umat Islam.\n\u201cCabang persuratan Islam patut lebih fokus kerana karyanya mengandungi ajaran Islam. Penulis perlu bertanggungjawab pada karyanya kerana soal agama bukanlah hal yang boleh dipermainkan,\u201d katanya.\nTonton majlis perasmian di sini." "Kunjungan Hormat DBPWU ke Pejabat Exco Pendidikan Kedah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAlor Setar \u2013 Bertitik tolak daripada ucapan Yang Amat Berhormat Dato\u2019 Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah ketika melancarkan buku Biografi Sasterawan Negara Shahnon Ahmad: Anak Nan Bertuah pada 13 November 2021, di Sik Inn, Sik, Menteri Besar menyarankan supaya Anugerah Sastera Negeri dapat diadakan di negeri Kedah bagi mengiktiraf penulis-penulis yang berbakat dan komited. Sehubungan itu, Pejabat Yang Berhormat Brig. Jen (B) Dato\u2019 Haji Najmi Haji Ahmad, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia bersetuju menerima kunjungan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) yang diketuai oleh Pengarah DBPWU, Encik Rahimi Arifin pada 29 November 2021.\nMenerusi pertemuan ini, DBPWU mencadangkan pihak Kerajaan Negeri supaya dapat mengadakan Hadiah Sastera Darul Aman (HASDA) bagi menyemarakkan lagi semangat dalam jiwa para penulis Kedah untuk terus berkarya, sekali gus mengangkat nama dan kemasyhuran negeri Kedah ke tempat yang sewajarnya. Bagi pihak Kerajaan Negeri, cadangan ini disambut baik dan akan dikemukakan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Kedah dalam waktu terdekat ini.\nPengiktirafan kepada penulis dan karya adalah wajar kerana penulislah yang menyemai pemikiran dan arus fikir masyarakat melalui karya yang dihasilkan. Bahkan penulislah juga yang mampu memurnikan akal budi dan menyuburkan nurani masyarakat. Di tangan merekalah karya sastera menjadi semakin dikenali dan tersebar ke seluruh dunia. Mereka jugalah yang memberikan warna, corak dan pola terhadap pembinaan kesusasteraan kebangsaan.\nTurut hadir bersama-sama dalam pertemuan ini, pegawai-pegawai DBPWU dan Penolong Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Puan Hasniza Aarif serta Encik Mohd Hanif Mohamad Hadzir, Pegawai Khas Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia." "Pak Asraf Terus Dikenang sebagai Pelopor Pejuang Bahasa Tersohor\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bagi mengenang jasa dan sumbangan Pak Asraf terhadap perkembangan bahasa \u00a0dan persuratan Melayu, Majlis Bingkisan Pak Asraf: Pejuang Bahasa dalam Kenangan, telah berlangsung di Sanggar Tun Sri Lanang, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada petang tadi.\nMohd. Asraf Haji Wahab atau lebih dikenali dengan panggilan mesra, Pak Asraf merupakan tokoh bahasa yang tidak asing lagi dalam bidang bahasa dan persuratan Melayu, khususnya dalam aspek tatabahasa. Beliau banyak menyumbang dalam pemerkasaan dan persuratan bahasa Melayu sejak tahun 1950-an hingga akhir hayatnya. Sumbangan beliau yang besar ini melayakkan dirinya diberi pengiktirafan dengan Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa Sepanjang Masa oleh Persatuan Linguistik Malaysia dan Public Bank Berhad.\nDalam majlis penuh nostalgia itu, Sasterawan Negara Datuk Seri A. Samad Said turut sama menghargai usaha dan sumbangan Pak Asraf yang terus mekar hingga kini. Beliau yang juga penulis dalam Angkatan Sasterawan 50 (ASAS \u201950) berharap agar majlis seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang bagi memperingati dan menghargai jasa pejuang bahasa terdahulu.\nWalau bagaimanapun, beliau berasa bimbang terhadap kelestarian kesusasteraan bahasa Melayu yang semakin dilupakan oleh generasi baharu. Beliau meluah bicara, iaitu:\nHari ini kita bicara tentang apa erti kesusasteraan, dan saya kira kesusasteraan kita semakin merosot.\n\u00a0\nBeliau turut memetik kata-kata daripada Allahyarham Pak Asraf yang menitipkan pesanan untuk beliau meninggalkan khazanah sastera yang berharga dan khazanah tersebut haruslah ditambah baik oleh generasi pada masa akan datang.\nBegitu juga dengan Pengerusi Ahli Lembaga Pengelola DBP, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang turut berkongsi kisah Allahyarham Pak Asraf melalui satu daripada bab dalam buku yang bertajuk, Hasrat Tokoh Bahasa, Raja Tanpa Mahkota. Buku tersebut menjelaskan perihal Allahyarham Pak Asraf yang merupakan tokoh awal yang memulakan penyatuan bahasa Melayu yang diformalisasikan menerusi Majlis Bahasa Melayu Indonesia\u2013Malaysia (MBIM) dan kemudian diperluas menjadi Majlis Bahasa Melayu Brunei Darussalam\u2013Indonesia\u2013Malaysia (MABBIM). Allahyarham juga banyak membuat rumusan sendiri dalam tatabahasa Melayu.\nProf. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan turut menggunakan buku tersebut dalam pengajiannya di universiti.\nSaya memanfaatkan koleksi tulisan beliau dengan tidak bergantung pada buku universiti kerana buku beliau sendiri jauh lebih lengkap.\nSementara itu, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Haji Mohd. Salahuddin Dato\u2019 Paduka Mohamed turut menambah bahawa tokoh bahasa itu bertanggungjawab untuk memantapkan tatabahasa, kosa kata dan istilah. Beliau merafakkan rasa syukur terhadap majlis yang berlangsung dan berharap agar majlis tersebut dapat membawa banyak manfaat kepada umum supaya pejuang bahasa terus dikenang dan dihargai akan segala pengorbanan mereka.\nMantan Ketua Pengarah DBP, Datuk Firdaus Abdullah yang berucap dalam majlis ini turut berkongsi pengalamannya. Menurut beliau, sebelum tertubuhnya PENA dan GAPENA, terdapat sebuah persatuan, iaitu Kumpulan Budi Utama (Kubu) yang ditubuhkan oleh Allahyarham Pak Asraf.\nBeliau turut mengakui bahawa Allahyarham seorang yang berbudi pekerti mulia dan\u00a0 isterinya amat baik, peramah dan mesra orangnya. Beliau berkongsi pengalaman menariknya tentang Pak Asraf, iaitu:\nAbang Asraf turut memberikan kepercayaannya kepada saya untuk menterjemahkan sebuah buku sebagai satu kesempatan sehingga saya dapat menterjemahkan sebuah buku yang berjudul, Pending Permata.\nBuku terjemahan Pending Permata (Red Wind yang ditulis oleh Shamus Frazer) merupakan karya kreatif berkisarkan kisah penyiasatan yang diterjemahkan oleh beliau pada tahun 1961 ketika beliau belajar di tingkatan empat. Menurutnya, atas kepercayaan yang diberikan oleh Pak Asraf juga beliau membuat kerja terjemahan dua buah cerpen daripada buku Koleksi Antologi Cerpen Jepun (Shoji) dan sebuah lagi buku karya kreatif terjemahan berjudul Pendeta Kuil Shiga dengan Keberahiannya." "Alam Sekitar Inspirasi Folklor Warisan Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Folklor sebagai warisan pemikiran bangsa seharusnya diperkasakan dan kekal dinamik kerana ia digunakan oleh generasi terdahulu sebagai pendidikan budaya, juga sebahagian proses sosialisasi.\nMalah, kedudukan folklor yang difahami sebagai kebudayaan kolektif yang disebarkan secara turun-temurun itu merangkumi tradisi verbal dan non verbal. Ia banyak bersumberkan alam, sesuai dengan kedudukan alam sebagai hal penting dalam kehidupan manusia.\nPerihal kepentingan alam sekitar ini disentuh Mufti Kelantan, Sahibul Samahah Datuk Mohamad Shukri Mohamed dalam ucap utamanya sempena Webinar Antarabangsa Folklor Malaysia yang disiarkan secara langsung dalam Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka, 3 Disember lalu.\nMohamad Shukri ketika membentangkan coretan ringkas mengenai kerangka pandangan Islam terhadap alam sekitar menegaskan, alam sekitar dicipta Allah SWT dan dipinjamkan kepada manusia untuk kelangsungan hidup dan perkembangan tamadun.\nJusteru katanya, ia perlu dipelihara untuk kesejateraan umat.\n\u201cKita adalah khalifah yang bertanggung jawab terhadap keharmonian dan keseimbangan alam sekitar. Jangan sampai ia dirosakkan atau didominasi bukan-bukan.\n\u201cIsu alam sekitar berkait rapat dengan fiqh kefahaman terhadap alam sekitar. Ia juga ada kaitan dengan tauhid terhadap Allah SWT yang menciptanya penuh keindahan,\u201d katanya.\nWebinar Antarabangsa Folklor Malaysia yang mengangkat tema laut, sungai dan paya itu dianjurkan bersama Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) dan Persatuan Sastera Lisan Malaysia (PSLM).\nWebinara ini juga turut dinaungi oleh Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).\nMajlis yang berlangsung pada 3 hingga 4 Disember 2021 itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman.\nWebinar ini yang turut membabitkan peserta dari luar negara, antaranya Brunei Darussalam dan Uzbekistan yang dibuat dengan tujuan sebagai perkongsian ilmu dan menyebarluaskan pengetahuan untuk kepentingan bersama.\nSementara itu, Pengerusi PERADABAN, Datuk A. Aziz Deraman, ketika membentangkan kertas kerjanya \u201cFolklor Melayu Cabaran dan Masa Depan\u201d berkata, folklor sama ada verbal atau non verbal ialah warisan yang diwarisi, generasi demi generasi.\n\u201cKekayaan warisan folklor menggambarkan akal minda masyarakat kita dan nilai keagamaan masyarakat sepanjang zaman,\u201d katanya.\nTonton majlis perasmian dan pembentangan kertas kerja ucap utama di sini." "Konsert Jundai Nusantara Menghidupkan Pementasan Puisi Kuala Lumpur\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pentas kesenian Kuala Lumpur mula bernafas semula setelah lebih setahun dalam keadaan nyawa-nyawa ikan kerana terpaksa berhadapan dengan ancaman COVID-19 yang memaksa pelbagai industri ditutup dan dihentikan operasi. Industri kreatif dan kesenian merupakan antara yang terkesan dengan sekatan ini.\nPada malam Sabtu 4 Disember 2021, Konsert Jundai Nusantara berlangsung dengan gahnya di Panggung Anniversari, Kuala Lumpur, menampilkan lebih 10 artis membuat persembahan di hadapan penonton. Konsert ini merupakan satu daripada beberapa acara kesenian yang menemui khalayak awam secara fizikal sejak sekatan PKP dilonggarkan dan pelbagai sektor awam dibenarkan beroperasi dengan beberapa kawalan dan prosedur standard tertentu.\nKonsert Jundai Nusantara merupakan acara anjuran bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris, Kelab Katarsis Seni, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Galeri Shah Alam, Persatuan Penulis Nasional (PENA), Kelab Rekreasi dan Kebajikan Deklamator Malaysia (DEKMAL), Sekolah Seni Perak, Balai Seni Negara, Jurnal Kupas Seni, dan Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS). Penganjuran bersempena Pameran Seni Antarabangsa Meraki 21, konsert ini dikemudi oleh Azerai Azmi, digahkan dengan kehadiran Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Hj. Mahadi Che Ngah.\nAcara ini merupakan sebuah inisiatif persembahan seni yang mengangkat dan meraikan penghayatan seni puisi dengan konsep muzikalisasi puisi. Tokoh-tokoh penyair negara, deklamator kebangsaan dan penggiat seni dan hiburan telah bergabung dan menyumbangkan suara mempersembahkan puisi melalui konsert ini.\nKonsert ini membuka tirai acara dengan sebuah persembahan pembukaan oleh Shirley Idris dengan puisi \u201cAda\u201d karya Allahyarham Dato\u2019 Dr. Kemala. Umar Uzair kemudian mendendangkan persembahan lagu tema Meraki, iaitu Bertemu Di Sini yang diiringi oleh Kombo DBKL sebelum Dato\u2019 Dr. Mohd Radzi membersembahkan puisi nukilan beliau, \u201cAkulah Kekasih Yang Bersenjatakan Diam\u201d.\nSegmen kedua pula membawa penonton menelusuri persembahan khas karya Kenusantaraan oleh Artis Budaya DBKL dengan persembahan tarian tradisional suntikan kontemporari. Lin Haslinaz dengan puisi \u201cMakara Sang Pencinta\u201d pula menyusul, kemudian Umar Uzair sekali lagi muncul dengan lagu puisi ikoniknya, Cenderawasih sebelum membuat persembahan duet bersama-sama artis hiburan Amelina, membawakan lagu Seri Langkat. Amelina menutup segmen dengan dendangan indah Zapin Tujuh Purnama.\nDr. Shamsudin Othman (SEA Write Award 2019) pula ditampilkan sebagai pembuka segmen ketiga sebelum disusuli dengan lagu rakyat Lemak Manis oleh penyair Roslan Madun. Dendangan irama syair \u201cSenja di Kuala Lumpur\u201d karya Sasterawan Negara Dato\u2019 Dr. Zurinah Hassan pula dideklamasikan oleh Sasterawan Negara itu sendiri, yang menutup tirai persembahan puisi setelah berlangsungnya sebuah persembahan daripada Fauziah Ahmad Daud yang membawa puisi karangannya sendiri, \u201cKe Mana Perginya Alamku\u201d.\nSetiap deklamator, pembuat persembahan dan penyanyi menjayakan persembahan dengan penuh impak buat penonton yang diiringi dengan dendangan permainan instrumental, sepadan dengan tema konsert \u2013 persembahan muzikalisasi puisi.\nPersembahan tarian tradisional-kontemporari, persembahan muzik, lagu puisi, lagu tradisional, juga persembahan deklamasi sajak, monolog dan gurindam telah ditampilkan di atas pentas Panggung Bandaraya malam itu.\nKonsert Jundai Nusantara telah berjaya menghidupkan pementasan seni dan apresiasi sastera negara, yang secara utuhnya menunjangkan harapan bahawa pementasan seni negara sedang berada dalam tangan mereka yang tinggi cita-citanya dan kuat pegangan semangatnya." "Program Apresiasi Puisi UKM Mekarkan Ilmu dan Seni\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nProgram Apresiasi Puisi Ilmu, Seni dan Kehidupan anjuran kerjasama antara Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), dan Kerabat PEMUISI, iaitu Alumni Bengkel Puisi Merdeka kali ini menjalinkan bidang ilmu dengan bidang seni dalam konsep yang santai dan menghiburkan. Acara ini diadakan bersempena dengan Majlis Konvokesyen ke-49 UKM yang menampilkan ilmuwan dan tokoh akademik, yang antara lain terdiri daripada Naib Canselor, Profesor dan Sasterawan Negara.\nProgram yang dirasmikan oleh Prof. Dato\u2019 Ir. Ts. Dr. Othman Abdul Karim, Timbalan Naib Canselor, Hal-Ehwal Pelajar UKM diadakan dalam talian menerusi media sosial Dewan Bahasa dan Pustaka dan Facebook ATMA UKM pada 8 Disember lalu bermula jam 9.00 malam.\n\u201cMajlis puisi pada malam ini lebih istimewa apabila tujuan penganjurannya dikaitkan dengan matlamat untuk memekarkan seni bahasa dan sastera dalam kalangan ilmuwan.\n\u201cMemang selama ini wujud penglibatan ilmuwan dalam bidang sastera, namun jumlah yang terlibat perlu ditingkatkan dan diluaskan agar wujud kesepaduan antara bidang ilmu dengan bidang seni, dua komponen kehidupan yang tidak mungkin dapat dipisahkan untuk memenuhi erti kehidupan yang hakiki,\u201d ujar Othman semasa memberi ucapan perasmian semalam.\nMenurut beliau lagi, dikotomi atau pengasingan yang masih wujud antara bidang ilmu dengan bidang seni perlu diatasi melalui kurikulum, pendidikan formal dan juga pendidikan tidak formal, seperti kegiatan pada malam itu.\n\n\u201cAdunan ilmu dan seni sebagai salah satu unsur penting dalam Teras UKM sebagai universiti watan akan terus dipertahankan. Falsafah penubuhan UKM yang bersendikan \u2018paduan antara iman dan ilmu\u2019 dijadikan landasan pengisian kurikulum dan kegiatan kokurikulum universiti agar siswazah yang dilahirkan dapat menjalani kehidupan secara bersepadu dan dapat memberikan sumbangan kepada negara dengan lebih berkesan melalui penguasaan ilmu dan kemahiran yang menyeluruh,\u201d tambah Othman lagi, sebelum beliau menutup ucapannya dengan sajak, \u201cDirgahayu Pejuang Watan\u201d.\nSelaku penganjur utama program yang mengetengahkan tema ilmu, seni dan kehidupan, Prof. Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, Pengarah ATMA dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP ketika berucap memaklumkan bahawa majlis puisi ini diadakan sebagai penghargaan kepada UKM yang menjadikan ciri-ciri watan sebagai naratif baharunya, seperti bahasa Melayu, warisan, patriotisme, dan perpaduan, bersempena dengan Majlis Konvokesyen ke-49 UKM.\nMajlis Konvokesyen ke-49 UKM sudah berlangsung dari 27 November 2021 hingga 8 Disember 2021.\nDedikasi Awang terhadap UKM dapat dikesan melalui bait-bait puisinya berjudul \u201cMercu Suar Watan Bestari\u201d yang beliau deklamasikan lewat malam itu. Antara petikan sajaknya adalah seperti berikut:\nDikaulah suri teladan\nDikaulah tunjang kebitaraan watan\nDikaulah madrasah tonggak harapan\nMaka sekalian pemuka dan warga pilihan\ndi pundak kalian terletak taklif sepanjang zaman\nMemugar, melestarikan madrasah besar\nbernama Universiti Kebangsaan\nPenyumbang globalisasi lewat kearifan watan\nhasil penerokaan dan pencernaan cendekiawan terbilang\nKekal teguh jati diri\nlamun di dunia tersohor berdiri.\n\u201cPuisi membawa bukan saja imej tetapi di bawahnya, ada aliran perasaan, kenangan dan kasih sayang. Maka, kita perlukan bentuk persembahan begini untuk menambah lagi alunan kata dan kasih sayang kita terhadap UKM,\u201d ujar Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang mempersembahkan karya beliau berjudul \u201cSajak untuk Shamsani\u201d.\n\nSementara itu, menurut Kepten Dato\u2019 Prof. Emeritus Dr. Hashim Yaacob pula, puisi berfungsi sebagai pembina semangat, yakin diri dan kepandaian mengucapkan kata.\n\u201cPuisi bukan untuk khayalan atau hiburan semata-mata,\u201d tegas Hashim yang mendeklamasikan sajak \u201cTakkan Melayu Hilang di Dunia\u201d.\nMajlis baca puisi itu juga diserikan dengan penampilan Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail dengan sajak beliau, \u201cBumi Akar Kami\u201d, dan Prof. Emeritus Dato\u2019 Dr. Wan Hashim Wan Teh yang mempersembahkan sajak berjudul \u201cNyanyian\u201d.\nSebagai rakan strategik penganjuran program apresiasi puisi kali ini, PEMUISI dan DBP masing-masing menampilkan Presiden PEMUISI, Dato\u2019 Dr. Radzuan Ibrahim melalui persembahan puisi berjudul \u201cMaruah\u201d karya Wanrazuhar, dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Dr. Haji Abang Padteli Abang Muhi dengan sajaknya sendiri, \u201cTentang Bahasa Kebangsaan Kita\u201d.\nMenyemarakkan lagi majlis pada malam itu, pentas dalam talian juga digegarkan dengan karya Awang Sariyan oleh Juara Kebangsaan Deklamasi Puisi Kemerdekaan 2013, Datin Seri Haryani Haron yang melantunkan puisi berjudul \u201cMenuntun Si Merdeka\u201d dan Harlym Yeo selaku pengacara bersama Norhasmanalinda Mustapa memilih karya berjudul \u201cPayung Negara\u201d.\nDalam kehangatan berpuisi, program majlis itu juga diadun dengan selingan persembahan seni muzik yang menarik dan memikat penonton melalui dendangan lagu puisi oleh Roslan Madun dengan karya beliau berjudul Nazam Hati Mulia dan Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Adiwangsa Sukma bertajuk Bunga Ros. Selain itu, penonton juga disajikan dengan persembahan puisi tradisional berjudul \u201cTeromba Alam Terkembang Sebagai Guru\u201d oleh Prof. Madya Dato\u2019 Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin, Felow Penyelidik Kanan ATMA.\nKetika menyampaikan ucapannya, Awang Sariyan berharap agar program itu dapat diteruskan sekurang-kurangnya dua bulan sekali secara lebih meluas dan berhasrat agar majlis seumpama ini dapat diteruskan di institusi pendidikan tinggi awam dan swasta yang lain agar acara sebegini dapat terus disuburkan.\nTonton acara penuh di sini." "Kodikologi: Sebuah Penemuan Arkeologi dalam Sejarah Dunia Manuskrip\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKewibawaan masyarakat Melayu dari sudut keilmuan, keagamaan dan kebudayaan yang telah didokumentasikan memperlihatkan kemajuan ketamadunan sejak lama dahulu. Hal ini berkembang seiring dengan penyebaran manuskrip Alam Melayu sekitar abad ke-19 Masihi.\nPenghasilan manuskrip tidak sama dengan penghasilan karya moden yang dibukukan pada era kini. Tiada kesukaran untuk mendekati buku bercetak sebagai sumber maklumat jika hendak dibandingkan dengan naskhah Melayu klasik.\n\u201cManuskrip dihasilkan dalam konteks sosiobudaya dan dunia yang sama sekali berbeza, baik dari aspek penghasilannya, penggunaan teknik dan teknologi, kaedah penulisan dan pengarangannya, fungsi, dan juga tujuan utamanya sebagai perakam ilmu tidak berubah,\u201d ujar Profesor Dr. Muhammad Mustaqim Muhammad Zarif, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam sesi Pembentangan Ucaptama Seminar Antarabangsa Manuskrip Melayu (SEMALU) 2021 dengan judul: \u201cPeranan dan Kepentingan Kodikologi Dalam Pelestarian Khazanah Ilmu Manuskrip Melayu\u201d pada 1 Disember lalu jam 10.00 pagi.\nManuskrip ialah warisan bangsa yang bernilai tinggi. Justeru, telah banyak usaha dilakukan untuk memperkenalkannya kepada khalayak pembaca, dengan menganjurkan banyak pameran supaya dapat menarik minat dalam kalangan ahli masyarakat untuk menghayati dan menghargai tinggalan khazanah bangsa. Proses pembacaan manuskrip dan memahami isi kandungannya menjadi sukar kepada kita yang hidup dalam silang masa berbeza jika hendak dibandingkan dengan orang-orang yang hidup pada era penghasilan manuskrip. Masyarakat terdahulu sudah terbiasa dengan budaya pembacaan manuskrip pada zaman tersebut.\nNamun demikian, era kini menyaksikan ramai orang berputus asa dan menyerah kalah apabila hendak mengkaji manuskrip Melayu warisan asal leluhur, saat melihat naskhah tersebut kelihatan begitu asing daripada kebiasaan. Hal ini menjadi \u201cbatu penghalang\u201d bagi masyarakat pada hari ini untuk mengkaji tinggalan sejarah silam.\nJusteru, beberapa perkara penting perlu dipelajari untuk mendekati dan mengenali manuskrip atau naskhah Melayu klasik melalui strukturnya dengan tiga aspek utama, iaitu pertama, Filologi, yang menjurus kepada kajian bahasa dan struktur ayatnya atau juga dikenali sebagai kajian tekstologi. Kedua, Paleografi, iaitu kajian mengenai cabang ilmu, susur galur tulisan dan bentuknya, sama ada tulisan khat seperti nasakh serta apa-apa sahaja kaligrafi dalam tulisan Jawi, Arab, Romawi, China, India, dan lain-lain. Manakala aspek ketiga yang terpenting ialah Kodikologi, iaitu kajian terhadap bentuk fizikal naskhah dan tulisannya, serta sejarah fizikalnya. Tiga aspek ini sangat terkait rapat dalam pengkajian manuskrip Alam Melayu yang saling melengkapi.\nTradisi naskhah manuskrip terdapat dalam pelbagai tamadun dan pensejarahan sosial dunia, antaranya tamadun India, Arab, China, dan Melayu, yang menyumbangkan pelbagai tradisi manuskrip dan penghasilannya. Misalnya di Barat (Eropah, Empayar Rom) yang menghasilkan pelbagai manuskrip dan catatannya, mengikut format dari istana dan pihak gereja, baik dari segi tulisan atau bentuk penghasilan manuskrip tersebut. Manakala tradisi Arab Islam pula berfokuskan kepada jenis tulisan, ataupun dikenali sebagai Khat dan kaligrafi tertentu dengan corak hiasan berbanding kitab fizikal yang dihasilkan.\nKepelbagaian tradisi manuskrip di seluruh dunia ini terzahir daripada pelbagai cabang etimologi. Seperti di Barat, istilah \u201ccodex\u201d yang berasal daripada bahasa Latin bermaksud buku atau kepingan kayu bertulisan manuskrip lama. Istilah \u201cbook\u201d pula merujuk kepingan kertas atau kayu yang menjadi buku dan istilah \u201cliber\u201d pula bermaksud penyimpanan. Di negara Arab, istilah \u201ckataba\u201d bermaksud penulisan kitab, \u201cnaskhah\u201d atau \u201cnasakha\u201d bermaksud penyalinan, dan \u201crisalah\u201d bermaksud hantar. Manakala dalam dunia Melayu, aspek etimologi terjelma melalui tulisan Jawi.\nMeneliti sejarah kodikologi, kajian ini dimajukan pada tahun 1949 oleh seorang ilmuwan berbangsa Perancis bernama Alphonse Dain dalam teks kajiannya berjudul Les Manuscrits [https://www.goodreads.com/book/show/17972341-les-manuscrits] pada tahun 1949. Menurut pendapat tokoh ilmuwan bernama Maria Luisa Agati dalam \u201cIl libro manoscritto da Oriente a Occidente: Per una codicologia comparata\u201d, aliran kodikologi terbahagi kepada dua bahagian, iaitu stricto sensu (terhad, khusus) dan isto sensu (terbuka).\nKodikologi dilihat sebagai sebuah penemuan arkeologi dalam sejarah dunia manuskrip. Bidang ini meneliti dari mula hingga akhir sesebuah manuskrip diterbitkan, sehingga keadaannya pada zaman moden, dan kaedah pemeliharaannya di muzium, arkib, perpustakaan, serta aspek pemeliharaan manuskrip daripada rosak serta rawatan ke atas manuskrip yang rosak akibat hawa dan iklim.\nJelas Dr. Mustaqim lagi, di Malaysia khususnya, aspek filologi perlu dikaji dalam kajian yang menjurus kepada kaedah kodikologi. Kajian aspek-aspek kodikologi manuskrip di Malaysia harus menjurus kepada:\nPeri penting tujuan atau objektif utama kodikologi dalam kajian manuskrip Melayu adalah untuk mengenal pasti analisis dan kaedah teknik pembuatan manuskrip, sama ada daripada kertas, daun atau kayu, kelompok identifikasi tempat penghasilan dari sudut masa dihasilkan, dan lokasi tamadun manuskrip tersebut. Segala usaha ke arah rekonstruksi sosial, ekonomi, intelektual, dan teknikal secara kajian aspek sosial bangsa dalam perkembangan ilmu pengetahuan dan tamadun sesuatu bangsa perlu dipergiat ke arah kajian manuskrip terbaik secara fizikal.\n\u201cSkop kodikologi mencakupi alat tulis seperti pen, buluh, berus, beliung, pensel, dan lain-lain, serta penggarisan susun atur dan penjilidan buku manuskrip serta identiti asal usul naskhah dan judul manuskrip. Juga meliputi sejarah naskhah manuskrip, cop mohor manuskrip dan tarikh, tanda semak, dan catatan serta sejarah koleksi (katalog), bentuk penghasilan buku dan teks manuskrip, sama ada nipis atau tebal, dakwat dan bentuk penghasilan (bahan semula jadi atau warna, dan isi dakwat daripada bahan tumbuhan), serta tulisan, simbol Jawi, Arab, kaligrafi, mahupun khat,\u201d ujar Dr. Mustaqim.\nPada akhir pembentangan, beliau menegaskan peranan dan kepentingan kodikologi dalam pelestarian ilmu manuskrip Melayu, iaitu:\nJusteru dapat disimpulkan, ilmu kodikologi ialah ilmu yang memberikan interaksi ruang, masa dan hubungan sosial tamadun ke arah melestarikan khazanah keilmuan manuskrip Alam Melayu.\nSEMALU berlangsung selama dua hari bermula pada 1 hingga 2 Disember 2021. Lebih 50 kertas kerja dibentangkan dalam seminar tersebut, anjuran Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu (PPMAM), Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM dan Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM secara dalam talian. Ucaptama aluan disampaikan oleh Pengarah ATMA, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, manakala ucapan perasmiannya disampaikan oleh Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh. Majlis ucaptama pengerusi bersama seminar disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad, Jabatan Bahasa Melayu UPM." "Bahasa dan Sastera Kebangsaan Makin Tersisih Selepas Merdeka\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cIdentiti negara sudah \u2018terburai\u2019 dan ia berlaku agak lama sehingga menyebabkan hal-hal budaya dan bahasa kelihatannya sudah ditolak ke tepi.\u201d Begitulah kata-kata Sasterawan Negara (SN), Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dalam simposium berjudul Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971: Sebuah Simposium Pasca-50 Tahun yang diadakan di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya.\nAcara itu dianjurkan secara bersama-sama oleh PUSAKA, Svara, CENDANA, dan Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya yang bertujuan untuk merenung semula konteks dan niat Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971.\nDalam acara yang turut menampilkan Profesor Dato\u2019 Dr. Ahmad Murad Merican (Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), Dr. Roslina Ismail (Timbalan Dekan Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya), Salehhuddin Md. Salleh (Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan), dan dimudah cara oleh Eddin Khoo, Muhammad berkata, suatu bangsa yang matang mesti mempunyai bahasa kebangsaan, tetapi di Malaysia hal itu juga sudah \u201cterburai\u201d. Beliau berkata, selepas merdeka, masyarakat Malaysia bersama-sama membangunkan negara dan mengambil bahagian untuk tujuan itu tetapi menjelang 1980-an, masyarakat bukan Melayu semakin menyisih daripada arus perdana.\nKatanya, hal itu mungkin disebabkan hampir semua perkara di Malaysia dipolitikkan sedangkan kita seharusnya cepat matang dalam hal itu.\n\u201cBerpolitik itu boleh tetapi gunakanlah untuk memperbaiki keadaan. Pengalaman saya merantau hampir ke 70 buah negara dunia, saya merasakan negara ini cukup dan ada segala-galanya cuma kita saja melihatnya kurang dari pelbagai segi.\u201d\n\u201cPemikiran kita tentang budaya dan bahasa juga banyak dirosakkan oleh ahli politik menyebabkan kita masyarakat Malaysia terpisah-pisah mengikut kaum,\u201d katanya.\nDari segi bahasa tegas Muhammad, kita masih melihat bahasa Inggeris sebagai satu-satunya bahasa yang boleh memajukan negara sedangkan banyak negara lain tidak pun menggunakan bahasa itu untuk maju, malah tegasnya, bahasa Inggeris meminjam frasa asing termasuk, daripada bahasa Melayu.\n\u201cKita perlu nyahkan pemikiran kolonial daripada akal dan hidup kita, barulah kita boleh melihat dan berbangga dengan pencapaian kita.\u201d\nTambahnya, disebabkan oleh kekurangan pembabitan orang bukan Melayu dalam perjuangan bahasa dan sastera, negara tidak ada pengarang bukan Melayu yang hebat. Ketika ini, hanya ada Dr. Lim Swee Tin sedangkan Malaysia memerlukan lebih ramai kerana ketiadaan mereka menyebabkan sastera kita hanya tertumpu pada pengisahan satu bangsa sahaja.\n\u201cSaya merasakan bahasa dan sastera kita sekarang berada di tahap corot dan tidak dipedulikan,\u201d katanya.\nTonton acara penuh di sini." "Remaja Kini Sudah Mula Tidak Kenal Cerita Rakyat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nZafirah Zaidi memberikan reaksi terhadap kurangnya apresiasi sastera warisan dalam kalangan remaja sekolah, khususnya cerita rakyat.\nAnak-anak muda ini hanya tahu menyanyikan lagu popular tersebut namun mereka tidak mengetahui cerita sebalik lirik yang ingin disampaikan oleh penulisnya.\nCerita rakyat merupakan suatu bentuk hiburan masyarakat pada zaman dahulu yang disampaikan secara lisan, sama ada dalam penceritaan berbentuk mitos, legenda, hikayat, mahupun dongeng. Ledakan arus teknologi perfileman pada masa kini perlahan-lahan menghakis tradisi penceritaan cerita rakyat masyarakat Melayu yang gah pada suatu masa dahulu. Kini, bukan sahaja siri animasi, drama televisyen mahupun filem dari Barat menjadi tontonan utama generasi muda tetapi kandungan hiburan dari Korea Selatan turut menjadi pilihan utama golongan ini. Perkara ini seharusnya tidak boleh dipandang enteng oleh semua pihak kerana dikhuatiri, cerita rakyat akan terus lenyap dan pupus dalam jiwa masyarakat sekarang.\nDalam pemerhatian saya, generasi muda yang berusia antara 12 hingga 17 tahun rata-ratanya tidak mengetahui cerita rakyat yang terkenal suatu ketika dahulu. Lihat sahaja prosa yang berbentuk cerpen moden yang digabungjalinkan dengan dongeng Pak Kaduk dalam antologi Komponen Sastera (KOMSAS) dalam buku teks tingkatan empat. Cerpen yang bertajuk \u201cKaduk, Ayam dan Raja\u201d yang mengaitkan watak Pak Kaduk yang berlaga ayam dengan raja sehingga terpaksa menggadaikan harta miliknya jelas-jelas tidak diketahui oleh murid-murid pada usia 16 tahun! Begitulah reaksi remaja kini apabila ditanyakan tentang Pak Kaduk: terpinga-pinga! Guru, selaku pendidik terpaksa menceritakan semula cerita rakyat ini untuk memudahkan murid-murid memahami jalan cerita cerpen moden yang ingin diketengahkan oleh pengarang. Setelah diceritakan, barulah mereka dapat mengaitkan cerita rakyat tersebut dengan bait lirik lagu Floor 88 yang bertajuk Hutang, iaitu \u201cPak Kaduk gadai tanah, dia laga ayam bukan kepunyaannya\u201d. Ketahuilah sang guru bahawa selama ini, anak-anak muda ini hanya tahu menyanyikan lagu popular tersebut namun mereka tidak mengetahui cerita sebalik lirik yang ingin disampaikan oleh penulisnya. Jelas-jelas perkara ini sungguh menyedihkan kerana kita seolah-olah membunuh hiburan yang cukup popular dan memberikan teladan buat masyarakat sejak zaman-berzaman.\nMenyedari hakikat ini, saya berpandangan bahawa kita semua perlu memainkan peranan yang proaktif dalam memastikan agar cerita rakyat kita tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.\nIndividu seni daripada industri hiburan, sama ada komposer, penulis lirik dan penyanyi boleh mempergiat elemen cerita rakyat dalam lagu sebagaimana yang diketengahkan oleh kumpulan Floor 88. Jalinan cerita rakyat yang diharmonikan dalam rentak lagu yang digemari oleh golongan remaja kini sedikit sebanyak dapat membantu masyarakat, terutamanya remaja untuk mengenali watak penting dalam cerita rakyat.\nKita juga dapat melihat kejayaan Les\u2019 Copaque yang menempa nama pada peringkat antarabangsa melalui filem animasi Upin dan Ipin yang bertajuk Keris Siamang Tunggal. Hikayat lama dan dongeng yang dihidupkan kembali dengan nafas baharu yang lebih segar memberikan impak kepada kanak-kanak. Kejayaan pengarang mengetengahkan watak Mat Jenin, Bawang Merah, Raja Bersiung, dan Nakhoda Ragam menjadikan nama-nama tersebut tidak asing dan dititipkan kembali untuk diingati oleh masyarakat, seawal usia kanak-kanak. Jika sebelum ini, kita tidak mengetahui siapa suami Puteri Gunung Ledang, sehinggalah watak Nakhoda Ragam yang diwujudkan dalam filem animasi ini. Bukankah perkara ini merupakan suatu penghargaan kepada orang-orang tua dahulu yang memperkenalkan cerita rakyat?\nBarangkali, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga perlu bertindak agresif dengan memperkenalkan sastera hikayat lama ini dalam buku-buku teks atau buku-buku pelajaran tambahan agar menjadi pelajaran wajib bagi murid-murid sejak bangku sekolah. Sememangnya, kita tidak dapat menafikan bahawa ada usaha KPM menyerap nilai cerita rakyat dalam pelajaran di tingkatan enam melalui Sulalatus Salatin. Namun begitu, kita juga tahu bahawa tidak semua remaja yang memilih untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), apatha lagi melalui aliran sastera, sekali gus menjadikan sastera warisan ini hanya diketahui oleh sebilangan remaja sahaja. Setidak-tidaknya, cerita seperti Hikayat Hang Tuah, Puteri Lindungan Bulan mahupun Mahsuri menjadi cebisan ilmu yang diwajibkan kepada murid-murid tingkatan satu hingga lima.\nKita tidak juga nafikan bahawa akan timbul pertelingkahan fakta dan pandangan tokoh dalam setiap coretan hikayat dan cerita rakyat. Namun begitu, pemilihan elemen penulisan moden yang digabungjalinkan dengan cerita rakyat, seperti yang dilakukan oleh pengarang cerpen \u201cKaduk, Ayam dan Raja\u201d merupakan suatu inisiatif bagi mengelakkan pertikaian pendapat antara tokoh masyarakat. Sekurang-kurangnya, kita tidak membiarkan cerita rakyat daripada terus hilang dalam dunia Melayu. Semoga usaha murni daripada pelbagai pihak dapat menggemburkan nilai estetika sastera Melayu dalam hiburan masyarakat.\n_________________________\nZafirah Zaidi ialah seorang guru di SMK Batu Kikir (Model Khas), Negeri Sembilan." "Objek Magis dalam Sajak T. Alias Taib\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPenyajak Pui Wen Hang meneliti lima teknik persajakan T. Alias Taib.\nZainal Rashid Ahmad berpandangan bahawa sajak T. Alias Taib ialah foto yang bergerak dalam minda pembaca.\nMengikut kebiasaan, penyajak baharu suka mengemukakan penyataan langsung secara meleret. Kosa katanya bombastik dan metaforanya klise. Gaya bahasa sebegitu tidak menggalakkan pembaca berfikir secara kritis untuk merungkaikan makna yang tersirat. Dalam hal ini, ada eloknya jika kita temukan kelainan dalam sajak T. Alias Taib yang memanfaatkan objek sebagai simbol. Zainal Rashid Ahmad (2020) berpandangan bahawa sajak T. Alias Taib ialah foto yang bergerak dalam minda pembaca. Penulis ialah kamera yang merakamkan unsur-unsur yang zahir seperti rupa, riak wajah dan perbuatan. Kamera tidak sesekali akan memberitahu perasaan dan fikiran pelakon di pentas. Oleh itu, tulisan ringkas ini mengupas lima teknik yang diaplikasikan oleh T. Alias Taib yang menghidupkan objek simbolik dalam sajaknya, berdasarkan kumpulan puisi Peneka Silang Kata\u00a0(Kata-Pilar, 2019).\nPertama sekali, T. Alias Taib sekadar menyenaraikan satu set objek, kemudian menerangkan ciri atau perbuatan objek tanpa menjelaskan maksud tersirat. Objek-objek tersebut mempunyai maksud simbolik atau kiasan. Hal ini mendorong pembaca meneka emosi yang terkandung dan maksud sebenarnya objek simbolik tersebut. Sebagai contoh: dari bangku tunggu stesen keretapi ini kulihat lalu lintas bak tali tak berhujung berangkat dan tiba berangkat dan tiba sewaktu kutanya mereka dari mana hendak ke mana peliut pun melengking. \n(\u201cgambir, senja\u201d, 2019:102)\nDua objek simbolik telah digunakan, iaitu stesen kereta api dan peliut. Stesen kereta api selalu sesak dengan manusia. Oleh itu, stesen diumpamakan sebagai manusia yang sering bertemu dan berpisah, menimba pengalaman secara berterusan di tempat yang berbeza. Peliut pula bersifat nyaring dan menggelisahkan. Maksud tersirat peliut ialah beban hidup yang sering mendesak manusia bekerja dan mengejar masa. T. Alias Taib telah menggambarkan kegelisahan dan kesibukan hidup dengan sekadar menyenaraikan objek, seperti stesen kereta api, lalu lintas, manusia, peliut. Interaksi objek tersebut membina suasana yang mengandung emosi yang tertentu.\nSelain itu, T. Alias Taib menyamakan dua buah objek yang berkongsi ciri yang sama. Kadang-kadang beliau menggunakan kata pemeri adalah dan kadang-kadang tidak. Sebagai contoh: balang yang bergoyang kata mereka adalah dirimu setengah matang \n(\u201cair setengah balang\u201d, 2019:21)\nSajak ini menyamakan objek balang dengan objek diri. Balang yang mengandung air separuh penuh dan selalu bergoyang sama seperti diri sendiri yang setengah matang dan selalu runsing.\nDi samping itu, T. Alias Taib mengaplikasikan teknik personifikasi, iaitu menambahkan sifat manusia pada objek yang tidak hidup, misalnya objek itu dapat bercakap dan bergerak. Terdapat empat jenis interaksi objek dalam personifikasi T. Alias Taib, iaitu konkrit-konkrit, abstrak-abstrak dan konkrit-abstrak.\nInteraksi personifikasi pertama, iaitu antara dua buah objek konkrit (konkrit-konkrit), terdapat dalam \u201clukisan\u201d. awan dan mentari yang tersungkur ke bumi \n(\u201clukisan\u201d, 2019:11)\nSajak \u201clukisan\u201d menceritakan seorang kanak-kanak naif yang melukis objek alam semula jadi pada kanvas. Sajak tersebut menggunakan dua objek konkrit secara personifikasi, iaitu awan dan mentari. Kedua-dua objek dimanusiakan, iaitu \u201ctersungkur ke bumi\u201d. Perbuatan ini membawa konotasi negatif bahawa harapan budak-budak telah hancur.\nInteraksi personifikasi yang kedua ialah abstrak-abstrak, iaitu interaksi antara dua objek abstrak, terdapat dalam sajak \u201cmenyusun kehidupan\u201d: hari ini dia meratapi usianya yang lebur di dalam angin \n(\u201cmenyusun kehidupan\u201d, 2019:20)\nSajak \u201cmenyusun kehidupan\u201d memperlihatkan interaksi antara dua objek abstrak, iaitu usia dan angin. Objek usia dan angin telah ditambahi ciri manusia, iaitu usia menjadi seperti serbuk yang dapat melebur, sementara angin menjadi tempat leburnya usia, membawa usia pergi, hilang tanpa jejak. Maksud tersirat sajak ini ialah orang tua yang menyesali kehidupannya.\nInteraksi yang ketiga konkrit-abstrak, iaitu interaksi antara objek konkrit dengan objek abstrak, yang terdapat dalam sajak \u201ckubentang sehelai peta\u201d: \u201cdi atas rakit ini kukayuh kenanganku\u201d (2019:19).\nDalam sajak ini, terdapat dua objek, iaitu rakit yang merupakan objek konkrit dan kenangan, objek abstrak. Rakit menjadi tempat \u201caku\u201d mengimbau kenangan. Secara amnya, objek konkrit dan objek abstrak tidak dapat berkomunikasi kerana berada dalam ruang yang berlainan, objek konkrit berada dalam ruang maujud (alam ciptaan) dan objek abstrak lazimnya berada dalam ruang fikiran. Akan tetapi, sajak telah merapatkan dua alam ini untuk mendorong manusia meneroka lapis makna hidup yang lebih mendalam dan mesra. Teknik ini telah membuktikan bahawa manusia dan alam tidak terpisah.\nTeknik yang keempat ialah pembandingan pembayang dan maksud. T. Alias Taib suka memulakan sajak dengan sesuatu keadaan yang menjadi pembayang, kemudian mendedahkan maksud yang sebenarnya dalam ayat yang seterusnya, seolah-olah menulis pantun. Teknik ini diaplikasikan dalam sajak \u201cpenyair kematian ilham\u201d: ini lopak berair coklat sudah tiada berlari ketenteraman ini selembar hati pekat kebulur sebutir petunjuk \n(\u201cpenyair kematian ilham\u201d, 2019:27)\nDalam sajak di atas, T. Alias Taib mengemukakan objek pembayang dan ciri objek tersebut, iaitu lopak coklat yang tidak jernih lagi. Kemudian, beliau memaparkan maksud yang sebenarnya, iaitu hati pekat yang kehilangan petunjuk untuk menghasilkan sajak yang menyentuh hati. Pembayang dan maksud itu menjadi pembandingan yang menyentuh perasaan, seolah-olah kita memasuki kabus pagi, kemudian kabus itu berarak pergi dan imej gunung yang makin jelas.\nAkhir sekali, T. Alias Taib mengimplementasikan teknik mempertentangkan dua keadaan. Pertentangan dua keadaan dapat memberikan kesan emosi yang kuat. Teknik ini digunakan dalam sajak \u201cdi akuarium pulau pinang\u201d yang berikut: ada sebuah dunia kesukaan anak itu bebas dan lepas di padang terbuka ada sebuah dunia kebencian ikan itu lemas dan terbatas di lautan tertutup.\n(\u201cdi akuarium pulau pinang\u201d, 2019:13)\nDalam sajak \u201cdi akuarium pulau pinang\u201d, frasa kesukaan anak itu bertentangan dengan kebencian ikan itu, sementara frasa bebas dan lepas bertentangan dengan lemas dan terbatas. Penyair menceritakan suasana positif tentang seorang anak yang berlari bebas di padang terbuka. Kemudian, penyair mempertentangkan suasana positif itu dengan suasana negatif tentang seekor ikan yang terkurung di dalam ruang terhad akuarium. Pembaca mula-mula membawa perasaan ringan dan bebas di padang, kemudian disogok dengan tekanan dikurung di dalam bekas yang terhad ruangnya. Pertentangan yang sedemikian menegaskan suasana negatif, iaitu kederitaan ikan apabila kebebasannya di laut sudah diragut.\nSebagai kesimpulan, T. Alias Taib suka menggunakan objek sebagai simbol yang membawa maksud kiasan. Objek simbol dihidupkan dan digerakkan dengan pelbagai teknik. Teknik yang paling kerap digunakan ialah teknik personifikasi, diikuti teknik menyenaraikan objek tanpa menyatakan maksud tersirat, menyamakan sebuah objek dengan objek lain, membandingkan pembayang dan maksud, dan akhir sekali pertentangan dua keadaan. Secara tuntas, seseorang penyajak dapat menjimatkan kata-kata dengan menjadi kamera bahasa badan yang lebih realistik dan mengharukan.\nKumpulan puisi Peneka Silang Kata boleh dibeli di sini.\n_________________________\nPui Wen Hang ialah seorang guru yang turut mengarang sajak. Beliau kini menetap di Kuantan, Pahang." "Puisi Panorama Kehidupan 15.0 Julang Puisi Tradisional\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPuisi tradisional Melayu dijulang oleh sekumpulan peminat puisi dari Malaysia, Singapura, China, dan Australia dalam program Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan 15.0 anjuran kerjasama antara Pusat Budaya dan Seni, Universiti Utara Malaysia (UUM), Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), Alumni Bengkel Puisi Merdeka, dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nProgram itu dipancarkan secara dalam talian melalui pelantar Zoom ke Facebook Pemuisi Berkarya, Pusat Budaya UUM, dan DBP pada 12 Disember lalu. Program menampilkan 24 persembahan dalam bentuk puisi tradisional, seperti syair, pantun, gurindam, nazam, seloka, serta lagu rakyat, termasuk persembahan wayang kulit dan lagu puisi. Slot puisi moden seperti deklamasi sajak juga diselitkan sebagai dedikasi, khususnya untuk para mahasiswa UUM.\nPersembahan slot puisi moden didahului dengan persembahan istimewa daripada budayawan dan mantan Naib Canselor Universiti Malaya, Kapten Dato\u2019 Prof. Emeritus Dr. Hashim Yaacob yang melantunkan puisinya berjudul \u201cMasih Tajamkah Mata Kerismu\u201d dengan pesanan berikut, \u201cPesan guru tua/Jangan persia ilmu di dada bila di menara.\u201d\n\u201cPuisi ini mengisahkan penuntutan ilmu oleh seorang murid yang berfokus pada integriti, kejujuran dan akhlak sebagai bekal untuk kehidupan, khasnya kalau nanti jadi pemimpin. Guru yang mengajarnya berharap muridnya itu akan berintegriti, jujur dan berakhlak mulia. Maka ditauliahkan muridnya itu,\u201d jelas Hashim tentang pilihan puisi persembahannya itu yang dituju khusus untuk para mahasiswa.\nSlot tersebut diikuti oleh persembahan puisi berjudul \u201cIngatan Pada Suatu Kasih Yang Tak Jadi\u201d karya Zurinah Hassan oleh Zamri Aminuddin, alumni UUM, dan diteruskan dengan persembahan para mahasiswa UUM, Noradila Amirah [email\u00a0protected], \u201cSuatu Kehidupan Dunia\u201d; Nur Nabilahhanis Binti Razali, \u201cMengenal Erti Sebuah Kehidupan\u201d; Nurulhusna Aliyanisa, \u201cDiri\u201d; Mohamad Rizwan Abd Rahim, \u201cSajak Perantau\u201d; dan Wan Nor Nadia Wan Dapat, \u201cRenungan Keheningan Malam\u201d. Manakala Raja Nurul Farhana mendendangkan puisi tradisional berjudul \u201cSyair Perahu\u201d karya Hamzah Fansuri sebagai pembuka gelanggang.\n\u201cKenalilah puisi tradisi kerana puisi tradisi ialah akar kita. Dah kenal puisi tradisi, kita tahu kita punya akar yang besar dan kukuh, dan kita sepatutnya jadi pohon yang rimbun dan teguh,\u201d nasihat Sasterawan Negara wanita pertama Malaysia, Dato\u2019 Dr. Zurinah Hassan yang turut menggemilangkan program dengan persembahan puisi beliau berjudul \u201cSyair Kuala Lumpur\u201d.\n\u201cSeloka Pak Kaduk\u201d menjadi pilihan pendeklamasi dan penulis kelahiran Kelantan tersohor, Dr. Lim Swee Tin dan pensyarah Sichuan International Studies University, China, Hanna Aleesya. Dengan bimbingan dan didikan Hanna, beliau juga menampilkan dua orang warganegara China, Zhang Wan\u2019er dan Li Kecheng mendedikasikan lagu rakyat yang pernah dipopularkan oleh Roslan Madun, tulisan T. Alias Taib, Lemak Manis.\nManakala para pelayar juga terpesona dengan kemerduan suara Juara Dendangan Syair Antarabangsa 2019, Dr. Shafa\u2019atussara Silahudin yang mengalunkan \u201cGurindam Fasal Keenam\u201d karangan Raja Ali Haji.\nLagu rakyat dan lagu puisi juga menjadi pilihan ramai peserta untuk program itu. Antaranya termasuklah persembahan daripada Presiden PEMUISI, Dato\u2019 Dr. Radzuan Ibrahim yang mendendangkan Zapin Watak, lagu dan lirik nukilan Wanrazuhar. Dekan Tari ASWARA dan Adiguru CENDANA, Zamzuriah Zahari, menghiburkan khalayak pelayar Facebook dengan tarian dan lagu Anak Ayam. Kumpulan penggiat seni sastera dari Terengganu yang terdiri daripada Pui Tiong [email\u00a0protected] Abdullah, Sharifah Shakira Tuan Mansor dan Radzilah Mohd Zain, mempersembahkan pantun dan lagu rakyat Terengganu, Inang Rodat. Dari luar negara, program kali ini mengetengahkan lagu Peranakan dari Melbourne, Australia berjudul Di Kebun Bunga oleh Margaret De Silva, manakala pasangan suami isteri dari Singapura, Sam Sumardi dan Ratnasam Sib II, mempersembahkan lagu puisi Syair Bangkitlah Kita karya Ratnasam Sib II.\n\u201cNazam Luruh Corona\u201d yang dihasilkan ketika dalam keadaan kuarantin akibat wabak COVID-19 dendangan dan karangan Galuh Cendra Kirana meruntunkan jiwa penonton dengan gemeresik vokal dan bait-bait puisi yang indah. Alunan syair \u201cJasa Guru\u201d irama Tok Kenali, Cikgu Norliza Salim dari Sekolah Kebangsaan LKTP Linggiu, Kota Tinggi, Johor juga menyerikan program itu di samping persembahan unik paduan wayang kulit dan seloka \u201cPesanan Ayah\u201d oleh Rusdi MN dari Sibu. Persembahan pantun pula disampaikan oleh Mohd Rizal Ismail yang berjudul \u201cIntegriti\u201d dan Ratu Rugu Rugu bertajuk \u201cNasihat Kehidupan\u201d.\nMelalui segmen bual bicara yang dinamakan Canai Puisi, program itu menampilkan aktivis sastera budaya dan Penyair Nusantara, Roslan Madun yang berkongsi ilmu tentang \u201cPuisi Tradisional: Apa Yang Tersirat\u201d.\nRoslan menjelaskan, puisi tradisional ialah sastera komunikasi yang menyelitkan unsur-unsur pengajaran yang berkaitan nilai-nilai disiplin, hukum-hakam tentang Islam dengan strategi dan kiasan untuk meraih kejayaan dalam hidup.\n\u201cIa wajar dikembangkan dari satu generasi ke generasi yang lain, dan saya yakin puisi tradisional tidak akan hilang selagi usia bumi masih ada,\u201d tegas Roslan.\nMenurutnya lagi, puisi ialah jambatan kasih sayang yang wajar diakrabi khalayak dalam kalangan orang muda agar lahir rasa memiliki, sekali gus puisi akan dijulang ke tahap yang lebih gemilang.\nSegmen bual bicara itu diacarakan oleh Pengarah Pusat Budaya dan Seni UUM, Asmawiza Haji Hussin. Majlis dikemudi oleh pengacara gandingan Harlym Yeo dan Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail.\nDeklamasi Puisi Panorama Kehidupan 16.0 edisi bulan Januari pula dijangka akan bersiaran pada 1 Januari 2022, Sabtu, 9.00 malam. Acara tersebut bakal menampilkan mantan Ketua Pengarah DBP, Dato\u2019 A. Aziz Deraman dengan judul \u201cSeni Puisi Pada Era Moden\u201d.\n\nTonton majlis penuh di sini." "Anugerah Besar Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKhoo Phau Liang menceritakan pengalamannya membaca Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah, hikayat terjemahan yang merupakan antara empat hikayat terpenting dalam kesusasteraan China klasik.\nHikayat ini tidak membunuh mana-mana watak dengan penceritaan ala kadar, sebaliknya setiap watak berjaya disatukan seperti benang-benang yang disulam menjadi baju.\nEmpat bulan lepas saya ke kedai buku untuk mencuci mata. Di sana ketika itu cuma tinggal dua tiga orang pekerja yang sedang melamun. Tiada pelanggan lagi melainkan saya. Dengan senang hatinya saya berlegar-legar di dalam kedai lebih satu jam, membelek buku-buku yang dijual satu demi satu. Dompet saya ada sekeping RM100. Saya merancang melamar pulang beberapa buah buku sebagai teman sepanjang \u201ccuti\u201d yang tidak berpenghujung ini. Akhirnya, di atas sebuah rak besar di hujung kedai, saya menemukan buku berwarna ungu yang tebal, Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah (HMRAM) Jilid III. Saya menyelak halaman buku ini dengan teruja, kemudian langsung menuju ke kaunter pembayaran. Begitulah kisah perpisahan antara dompet saya dengan wang not RM100 yang telah berkorban demi buku yang menambat hati saya.\nSejurus pulang, saya segera mengejutkan Shopee bagi membantu saya mengesan adik-beradik jilid HMRAM tadi. Saya menemukan Jilid I, Jilid II dan Jilid IV lalu terus menempahnya. Seminggu kemudian, keempat-empat jilid HMRAM telah bersatu semula di pangkuan saya. Sayalah yang paling gembira. Hikayat ini bukan calang-calang buku. Saya mendengar tentangnya sejak di bangku sekolah lagi. Inilah satu daripada empat hikayat agung yang lahir daripada tamadun China!\nHMRAM dikarang oleh Cao Xue Qin pada era Dinasti Qing, kira-kira 200 tahun yang lalu. Hikayat ini turut dikenali dengan nama Hikayat Batu, Catatan Seorang Pendeta yang Penuh Hawa Nafsu, Cermin Percintaan yang Berharga, dan Dua Belas Perempuan Jelita dari Jinling. Namun secara umumnya, judul utama yang digunakan ialah Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah (Hong Lou Meng). Judul ini diambil sempena lagu ke-12 dalam bab kelima Jilid I, yang merujuk mimpi Jia Baoyu di Alam Khayalan Tanpa Makna.\nHMRAM menceritakan kehidupan mewah keluarga Jia, percintaan tuan-tuan muda dan gadis jelita, pergolakan dalam keluarga, perangai orang suruhan, dan akhirnya kejatuhan keluarga bangsawan ini akibat penyelewengan yang dilakukan oleh ahli keluarga yang tamak dan mementingkan diri sendiri. Disebabkan HMRAM yang asal ditulis menggunakan bahasa Cina klasik, amat sukar untuk saya memahami isi ceritanya sebelum ini. Oleh itu, saya sangat terharu apabila menemukan terjemahan hikayat ini dalam bahasa Melayu. Tahniah dan terima kasih atas usaha kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Persatuan Kebudayaan HAN Malaysia.\nLima orang penterjemah HMRAM ialah Loh Wah Ching, Chew Fong Peng, Lai Choy, Chan Foo Heng, dan Woo Tack Lok, manakala editornya ialah Goh Hin San. Harus diketahui bahawa proses penterjemahan hikayat ini amatlah sukar sekali. Cabaran pertama, iaitu bahasa asalnya ialah bahasa Cina klasik yang bukan seperti bahasa Cina moden. Makna setiap ungkapannya lebih padat dan perlu diterokai dengan mendalam. Keduanya, hikayat ini mempunyai jalan cerita yang berbelit-belit dan sangat panjang sehingga mencecah 120 episod. Ketiga, muncul 975 orang watak dalam hikayat ini dengan nama Cina yang hampir serupa, seperti Jia Zheng, Jia Zhen, Jia Lian, Jia Lan, dan banyak lagi yang pastinya boleh mendatangkan kekeliruan kepada pembaca. Keempat, hikayat ini turut menyelitkan 400 buah puisi yang merupakan sebahagian daripada cerita dan tidak boleh diabaikan dalam proses penterjemahan. Kelima, pelbagai adat tradisi keluarga, nama-nama pokok dan bunga, ubat-ubatan tradisional, dan pelbagai lagi kebudayaan Cina yang tersemat dalam hikayat ini juga tentulah memerlukan kegigihan pakar penterjemah untuk mencari istilah yang paling tepat bagi membawa gambaran sebenar kepada pembaca yang berbeza budayanya.\nSaya sangat menyukai ketelitian yang ditunjukkan oleh penterjemah HMRAM. Dalam keempat-empat jilid HMRAM, setiap episod mempunyai ayat tajuk yang memberikan gambaran tentang keseluruhan episod tersebut. Hal ini sangat penting kerana HMRAM ialah hikayat yang panjang dan melibatkan hampir seribu watak. Ayat tajuk setiap episod memudahkan pembaca membelek semula bahagian cerita yang kabur dalam ingatannya sepanjang pembacaan. Saya sendiri telah mengambil masa sebulan untuk menghabiskan setiap jilid, maka ada ketikanya saya akan membelek isi kandungan untuk mencari episod-episod yang telah dibaca sebelum ini. Malah, penterjemah juga cukup baik hati untuk melampirkan rajah pokok watak-watak penting dalam HMRAM.\nDisebabkan keluarga Jia dalam HMRAM begitu besar dan melibatkan anggota keluarga dan sanak saudara yang ramai, begitu banyak watak dengan nama yang hampir sama muncul dalam episod demi episod. Siapakah yang mampu mengingat bahawa Jia Lian ialah anak kepada Jia She, Jia She abang kepada Jia Zheng, Jia Huan anak kepada Jia Zheng, Jia Zhen anak kepada Jia Jing, atau Jia Rong anak kepada Jia Zhen? Rajah pokok tersebut dengan jelas memaparkan hubungan antara watak bagi merungkaikan kekeliruan apabila terbaca nama yang hampir serupa. Dan anda tidak perlu risau, meskipun dengan sebegitu banyak watak, hikayat ini tidak membunuh mana-mana watak dengan penceritaan ala kadar, sebaliknya setiap watak berjaya disatukan seperti benang-benang yang disulam menjadi baju.\nHikayat ini tidak akan puas dibaca sekali sahaja, kerana setiap kali bacaan akan menyerlahkan sisi-sisi kehidupan yang berbeza.\nBukan itu sahaja, penterjemah turut memuatkan nota kaki bagi menjelaskan nama-nama tokoh yang disebut dalam HMRAM, seperti penyair Qin Guan, Ouyang Xiu, Fan Zhengda, dan lain-lain. Ada juga nama wanita yang terkenal, seperti Wu Zetian dan Yang Guifei. Selain penyair dan wanita terkenal, ada banyak lagi nama pelukis, pemain opera, maharaja, panglima perang, sami, dan sebagainya, yang turut dijelaskan dengan ringkas dalam nota kaki. Secara tidak langsung, HMRAM menjadi ensiklopedia kepada pembaca untuk menambah pengetahuan tentang sejarah dan legenda China yang luas. Turut dimuatkan nota kaki tumbuhan herba dan barangan tertentu yang sering digunakan oleh masyarakat di China. Bahkan, nama watak yang homofon dengan maksud tertentu dalam bahasa Cina turut dicatatkan dengan jelas dalam nota kaki, misalnya nama Zhen Shiyin yang sebunyi dengan maksud \u201cfakta benar yang disembunyikan atau dikiaskan\u201d, dan Jia Yucun pula sebunyi dengan maksud \u201ckarya-karya cereka yang menggunakan bahasa pasar atau kampungan\u201d.\nPengenalan karangan tokoh Prof. Dr. Wong Yoon Wah, Bai Xianyong, Wen Renping, dan Zhu Wenbin yang dimuatkan dalam HMRAM juga banyak mendedahkan asal usul hikayat, tema dan persoalan serta keistimewaan HMRAM untuk diterokai oleh pembaca. Ulasan tokoh-tokoh ini telah membuka mata saya terhadap setiap sedutan HMRAM yang meskipun kecil tetapi boleh membawa makna yang lebih besar terhadap keseluruhan cerita. Bahagian pengenalan yang termuat dalam HMRAM ini samalah seperti perumpamaan Cina yang berbunyi, \u201cmenitikkan mata pada lukisan naga yang buta\u201d, yang bermaksud menyempurnakan lagi sesuatu yang sudah sangat baik.\nBagi isi kandungan HMRAM pula, terlalu banyak aspek yang boleh diperkatakan. Jika diperhatikan dari sudut percintaan dan perkahwinan, HMRAM cenderung untuk menceritakan realiti hubungan cinta yang tidak berkekalan. Misalnya, kita boleh melihat perasaan cinta watak utama Baoyu kepada Daiyu yang sangat kuat, malah semua orang suruhan dan Puan Besar di kediaman Jia turut mengetahuinya. Namun akhirnya, Baoyu dikahwinkan dengan Baochai, sepupunya yang satu lagi. Daiyu pula mati kekecewaan. Walaupun masih terkenang akan Daiyu, tetapi adakalanya perasaan cinta Baoyu beralih kepada Baochai. Selain Baoyu dan Daiyu, percintaan sulit Jia Lian dan Cik You Kedua juga tidak berakhir dengan kegembiraan. Meskipun sempat disatukan, tetapi perkahwinan rahsia mereka mendatangkan kemarahan kepada Xifeng, isteri Jia Lian. Xifeng kemudiannya berterusan membuat helah untuk menganiaya Cik You Kedua, yang akhirnya bunuh diri dengan menelan ketulan emas. Demikian juga dengan kesudahan perkahwinan watak-watak lain yang membawa sengsara, sehingga Baoyu beberapa kali mempersoalkan mengapa gadis-gadis perlu menginjak ke alam perkahwinan yang menyebabkan perpisahan antara keluarga dan mengundang derita si gadis sepanjang hayat.\nDari sudut kehidupan keluarga bangsawan pula, HMRAM menonjolkan bagaimana keluarga bangsawan mengadakan sambutan besar-besaran untuk menikmati kegembiraan dan mengeratkan hubungan. Meskipun menghadapi masalah kewangan yang meruncing, Keluarga Jia sanggup berhutang dan menggadaikan harta benda untuk menyempurnakan majlis perayaan, perkahwinan dan hari jadi. Antara aktiviti yang dilakukan bagi mengisi keraian ialah permainan minum arak, mengira titik dadu, menyambung puisi, teka-teki, dan cerita lucu. Ada juga tuan muda yang mengambil kesempatan untuk berkelakuan tidak senonoh dengan berjudi dan berfoya-foya. Orang-orang suruhan juga mempunyai kerenah masing-masing seperti tuan mereka. Ada yang ikhlas bekerja, ada yang hanya boleh digerakkan dengan beberapa ketul wang perak, dan ada juga yang tidak menghormati tuannya yang lebih lembut hati. Dalam kemuncak HMRAM, kita dapat menyaksikan bagaimana Xifeng dipulaukan oleh orang-orang suruhannya, lalu terpaksa bertungkus-lumus mengendalikan majlis pengebumian Nenek Jia. Akhirnya, Xifeng dipersalahkan sehingga penyakitnya melarat dan mati.\nHMRAM turut mempersoalkan realiti yang dihadapi oleh sarjana dan pegawai kerajaan. Baoyu sering mempersoalkan karangan-karangan sarjana yang ditulis dengan tidak jujur dan sekadar mempergunakan ayat-ayat indah orang terdahulu untuk mendapatkan markah yang cemerlang dalam peperiksaan. Apabila membacanya, saya tertanya-tanya juga, adakah hari ini situasi kita pada peringkat sarjana masih sebegitu? Beralih pula kepada Jia Zheng, bapa Baoyu yang jujur dan amanah. Pada awalnya, Jia Zheng disukai oleh maharaja dan dinaikkan pangkat untuk menyelia hasil kutipan bekalan bijirin di gudang wilayah. Namun begitu, ketegasan dan sikap jujurnya akhirnya memakan diri sendiri kerana orang bawahannya tidak akur malah berkomplot untuk memakan rasuah. Jia Zheng akhirnya dijatuhkan pangkat dan kembali memegang jawatan lama. Hukuman itu sebaliknya melegakan Jia Zheng kerana dia tidak lagi perlu bergaul dengan pegawai-pegawai yang pecah amanah. Berbeza pula dengan Jia Yucun yang memanjat pangkat dengan memakan rasuah dan bergaul dengan pegawai yang tidak amanah, akhirnya dia juga dihukum kembali menjadi rakyat biasa. Di sini, kita dapat melihat bagaimana takdir mempermainkan nasib pegawai, sama ada dia amanah mahupun tidak.\nMemetik ungkapan terkenal masyarakat Cina, \u201cOrang muda tak akan faham cerita HMRAM, yang faham cerita HMRAM pula tentu sudah tidak muda\u201d, saya masih menerokai rahsia HMRAM. Pastinya, masih banyak aspek dalam hikayat ini yang belum dibincangkan dengan teliti, seperti puisi-puisi karangan Baoyu dan sepupunya, penyakit dan ubat-ubatan herba, kepercayaan terhadap dunia ghaib, seni bina rumah agam dan istana, serta banyak lagi. Pentafsiran terhadap HMRAM juga bergantung pada bidang yang diminati oleh pembaca itu sendiri, sama ada percintaan, perancangan jahat dan tipu muslihat, atau politik negara. Ada juga yang mengatakan bahawa \u201csewaktu muda jangan baca HMRAM, kelak tua tak dapat membaca Hikayat Tiga Negara.\u201d Hal ini kerana dikhuatiri HMRAM membuatkan pembaca terjerumus terlalu dalam ke dalam cerita sehingga membinasakan hidup sendiri. Demikian hebatnya karya agung HMRAM ini!\nGoh Hin San dalam bahagian prakata HMRAM menyatakan bahawa tidak banyak penterjemahan yang dilakukan terhadap HMRAM setakat ini, kebanyakannya daripada bahasa Cina kepada bahasa Inggeris. Dengan itu, saya semestinya sangat berbangga kerana HMRAM telah berjaya diterjemahkan kepada bahasa Melayu. Disebabkan kegigihan penterjemah, saya dan pembaca-pembaca lain mampu menatap dan menghayati HMRAM pada hari ini. Hikayat ini tidak akan puas dibaca sekali sahaja, kerana setiap kali bacaan akan menyerlahkan sisi-sisi kehidupan yang berbeza.\nBagi yang berminat dengan hikayat ini, keempat-empat jilid HMRAM kini dapat dimiliki dengan harga RM250 daripada laman web HAN Online Shop yang dikendalikan oleh Persatuan Kebudayaan HAN Malaysia. Semoga lebih banyak karya terjemahan dari China yang lahir pada masa akan datang.\nBeli Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah Jilid I, Jilid II, Jilid III dan Jilid IV. Bagi versi kulit keras, sila layari katalog buku kami.\nBerita Berkaitan |\nKarya Sastera Terjemahan: Mengangkat Budaya dan Citra Dua Negara\n\n_________________________\nKhoo Phau Liang merupakan seorang guru yang kini menetap di Tanah Merah, Kelantan. Karyanya diterbitkan dalam antologi puisi bersama Terima Kasih Tuhan Memerdekakan Negaraku (2019), Antologi Puisi Guru Malaysia (2020), Dandani Luka-luka Tanah Air (2020), dan Rawa Pertiwi (2021). Beberapa cerpennya turut tersiar dalam majalah Tunas Cipta." "Hari Sasterawan Malaysia: Sebuah Cadangan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDua buah program sastera di negara kita yang besar tetapi semakin sepi ialah Hari Sastera dan Hari Puisi Nasional. Di tengah-tengah persoalan mengapakah kedua-duanya seperti menghilang, ada yang mencadangkan penganjuran sebuah hari besar untuk sasterawan di negara ini. Para pencadang turut mengesyorkan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) merancang penganjuran satu perhimpunan khas secara besar-besaran yang diberi nama Hari Sasterawan Malaysia yang diharap akan lebih gah daripada Hari Sastera dan Hari Puisi Nasional. Raja Yusoff Ariffin tertarik dengan cadangan berkenaan selain mengambil pendapat beberapa rakan penulis mengenainya.\nHari Sasterawan Malaysia wajar dijalankan secara santai, tidak terlalu rasmi, tetapi bermanfaat kepada semua lapisan penulis, tanpa sebarang pemisah.\nMenurut beberapa cadangan yang sampai kepada penulis, jika mengikut logik dan kebiasaan, program Hari Sasterawan Malaysia (HSM) boleh mempertemu dan menjalinkan silaturahim semua lapisan individu yang pernah terlibat dalam dunia persuratan, termasuk sasterawan, novelis, cerpenis, penyair, penulis skrip drama, penulis akademik, penulis agama, penulis politik, wartawan, editor, wakil penerbit, dan kartunis.\nMengikut kelazimannya juga, program sedemikian elok diadakan selama tiga hari supaya banyak kegiatan berfaedah untuk para penulis dalam setiap bidang boleh dilaksanakan. Dalam hal ini, setiap penulis layak diberikan kesempatan membuka laman penjualan buku (atau untuk pameran), di samping bertukar-tukar karya. Menerusi cara sedemikian, penulis boleh menurunkan autograf sebagai kenang-kenangan kepada pembeli sambil berkenalan.\nHSM wajar dijalankan secara santai, tidak terlalu rasmi, tetapi bermanfaat kepada semua lapisan penulis, tanpa sebarang pemisah. Mengikut kebiasaan, pelbagai program sastera berskala kecil dan besar diisi dengan pembentangan kertas kerja oleh para pemakalah jemputan. Namun begitu, hanya beberapa sesi forum sahaja dilaksanakan untuk membuka ruang dan peluang kepada penulis.\nForum tersebut boleh diberi khas kepada para editor akhbar dan majalah, serta wakil-wakil badan penerbitan yang berkait rapat dengan penyiaran karya. Pelbagai masalah berkaitan boleh dibincangkan dan diselesaikan.\nPara pencadang turut berharap agar penganjur dapat mengatur kaedah promosi yang berkesan agar ramai yang mahu menyertai HSM. Penganjur boleh mengundang peserta menerusi surat rasmi yang disusuli dengan panggilan telefon, walaupun hal ini boleh dilaksanakan menerusi media sosial. Hal ini sedemikian kerana surat rasmi lebih menyentuh perasaan.\nKalau mengikut cadangan tersebut, HSM bakal menjadi acara besar. Justeru, disertakan cadangan agar kerajaan dapat mengiktiraf HSM sebagai hari cuti am kerana kerajaan boleh berbuat sedemikian. Diharapkan, pihak yang paling relevan seperti GAPENA dapat memohon dan membuat \u201cdesakan\u201d itu.\nHari Sasterawan Malaysia tidak patut serupa dan klise seperti sambutan hari-hari sastera yang lain.\nMenurut penulis bebas, Anbakri Haron, sasterawan membawa satu aliran, dan harus mengalirkan arus, selalu wajar mempunyai misi dan alasan untuk mewajarkan kehadiran mereka dalam masyarakat. Bagi beliau, sukar untuk menumbuhkan \u201crasa berguna\u201d jika kita kabur dengan peranan dan fungsi sasterawan.\nTegas Anbakri, perkara ini wajar dibedah dengan saksama untuk nantinya dijadikan hala tuju. Jika hal sedemikian tidak mahu dijadikan \u201ckeutamaan\u201d dalam pertemuan yang dicadangkan untuk tiga hari itu, penganjuran HSM tidak perlu.\nJika hanya mengadakan sebuah karnival, dan tiba-tiba khalayak penggiat hanya akan mendengar celoteh \u201cdewa-dewa sastera\u201d, yang diakhiri acara santai seperti baca puisi sehingga larut malam, hal itu sudah klise dan tiada pembaharuan. Hal itu seolah-olah cuba menyarungkan kebaya ke tubuh sastera lama untuk ke pesta. Masih lagi celoteh sehala tentang dunia sastera yang \u201cserba divine\u201d, dengan budaya mengagung-agungkan jargon perjuangan masa lalu, sekali gus memasyhurkan karya magnum opus pemain terdahulu.\nAnbakri sekali lagi menekankan, perlunya bertanyakan \u201crasa berguna\u201d sasterawan dalam konteks sebuah gerakan sekumpulan pemain bahasa yang bernuansa. Bagaimana peranan sasterawan wajar dihubungkaitkan dengan krisis nilai yang sedang sebegitu tenat, mengancam dan ditanggung oleh khalayak massa terkini di sana sini perlu dilihat.\nJika hal ini tidak dimantapkan, Anbakri bimbang sasterawan kita akan sekali lagi digesa untuk \u201cbergerak dalam kekosongan\u201d. Justeru, jika acara HSM perlu diadakan juga, menurut Anbakri, kemuncaknya adalah dengan mengeluarkan satu sumpah atau sebuah gagasan besar yang \u201cterfokus pada nilai\u201d.\nTambahnya yang juga seorang penyanyi dan komposer lagu puisi bebas, mungkin gesaan yang terkandung dalam Surah Asy-Syu\u2019araa ayat 224\u2013227 diizinkan mendapat tempat dalam diskusi ke arah memunculkan satu perbahasan bernas pada hari sambutan sepenting HSM.\nBagi Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia, Adiwangsa Sukma, Hari Sastera dan Hari Puisi Nasional kurang mampu menarik perhatian, dan pengisiannya juga agak klise setiap kali diadakan.\nJika mahu mengadakan HSM, kata komposer dan penyanyi lagu puisi bebas itu, dua perkara utama yang perlu difikirkan ialah visi dan objektif penganjurannya, serta sejauh mana programnya dapat memberikan impak baharu dan meraikan pemikiran sasterawan itu sendiri. Pengisiannya juga, tambah Adiwangsa, jangan serupa dan klise seperti sambutan hari-hari sastera yang lain.\nKalau mahu diadakan juga, Adiwangsa berpendapat, acara-acara lain yang tidak begitu berfungsi mencapai matlamatnya (jika pun ada) elok disatukan. HSM juga, katanya, mestilah menjadi acara kemuncak dunia sastera dengan memfokuskan pada spektrum kebijaksanaan Sasterawan Negara itu sendiri, merangkumi pemikiran, ekonomi, politik, kesusasteraan, keamanan sejagat, kemanusiaan, dan lain-lain.\nWalau bagaimanapun, Maroof Seman RS menganggap HSM bukanlah satu keperluan, sebaliknya program sebegini hanya lebih bersifat iseng dan glamor sahaja.\nTegas deklamator terkenal tanah air yang juga Juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan 1997 itu, Hari Sastera dan Hari Puisi Nasional jangan dibayangi oleh HSM, kerana kedua-duanya telah lama wujud, dan sedikit sebanyak telah memberikan kesan positif kepada kesusasteraan negara.\nKata Maroof, mengapa perlu disebutkan lagi Hari Sasterawan kerana sastera ialah manifestasi sasterawan. Tambahnya, yang perlu dilakukan sekarang adalah untuk menambah baik Hari Sastera dan Hari Puisi Nasional, bukan mengadakan sebuah lagi hari pertemuan ataupun perhimpunan sasterawan.\nSetelah dilampirkan setiap cadangan dan bangkangan, mungkin hal ini eloklah difikir-fikirkan oleh pihak pelaksana dan persatuan akan kesesuaian atau ketidaksesuaian Hari Sasterawan Malaysia.\n_________________________\nRaja Yusoff Ariffin atau Raja Yusoff Raja Ariffin dilahirkan pada 21 Ogos 1962 di Pulau Tiga Kanan, Parit, Perak. Beliau menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Raja Yusoff merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur, rakan Tajulmedia Melayu dan pernah menganggotai PAKSI. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun \u201cBeraya di Kampung Warisan Melayu\u201d Satu Property (2020)." "Mengenang Jasa Pak Asraf \u2013 Apakah Kata Mereka?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Majlis Bingkisan Pak Asraf: Pejuang Bahasa dalam Kenangan yang berlangsung di Sanggar Tun Sri Lanang, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada petang tadi turut dihadiri oleh beberapa orang ahli keluarga dan kenalan terdekat Allahyarham Pak Asraf. Antaranya termasuklah anak perempuan Pak Asraf, iaitu Profesor Dr. Ratnawati Mohd. Asraf yang turut berkongsi pandangan dan pengalamannya. Beliau berkata,\nAllahyarham berpendirian bahawa semua negara, khasnya negara berbilang kaum mampu mencapai perpaduan melalui satu bahasa kebangsaan yang mempunyai peradaban dan kebudayaan yang tersendiri.\nMenurut Prof. Dr. Ratnawati, Pak Asraf seorang yang sentiasa meletakkan bahasa Melayu pada aras yang tinggi tetapi tidak mengetepikan bahasa lain seperti bahasa Inggeris. Semakin banyak bahasa yang dikuasai oleh seseorang itu semakin banyak ilmu yang akan diperolehnya. Dalam hal ini, Pak Asraf juga menguasai bahasa Inggeris dengan baiknya sehingga dipuji dan diminta untuk mengajar guru dan rakan sekerjanya di Universiti Oxford.\nWalaupun Pak Asraf dianggap sebagai seorang pejuang bahasa Melayu, tetapi beliau sebenarnya amat mahir dan tidak menganggap bahawa bahasa asing itu tidak penting.\nBeliau turut menceritakan budi pekerti yang ada di dalam diri Pak Asraf, iaitu seorang yang rendah diri, jujur, teliti dan mempunyai etika kerja yang tinggi. Di samping itu, Pak Asraf juga seorang suami dan ayah yang baik serta berjaya mendidik anak-anaknya menjadi manusia yang berperibadi mulia.\nSementara itu, Prof. Emeritus Dustin Cowell turut berkongsi pandangannya tentang Pak Asraf. Menurut beliau, Pak Asraf seorang yang rendah hati dan selalu memberikannya semangat untuk meminati dan bertutur dalam bahasa Melayu.\nBeliau yang juga Profesor di University of Wisconsin-Maddison banyak mempelajari bahasa Melayu melalui Pak Asraf. Beliau turut mengakui telah mendapat pengalaman pertamanya mempelajari bahasa Melayu yang teratur daripada Pak Asraf. Beliau mendapat ilmu tentang bahasa Melayu ketika Pak Asraf diundang untuk memberikan Kursus Bahasa Melayu. Beliau juga dapat mempelajari ayat pasif yang dianggap begitu sukar ketika ingin menguasai bahasa Melayu daripada Pak Asraf.\nBegitu juga dengan seorang daripada sahabat karib Pak Asraf, iaitu Encik Suhaimi Khalid yang turut berkongsi cerita sepanjang mengenali Pak Asraf di syarikat penerbitan Sasbadi. Beliau mengakui bahawa Pak Asraf begitu teliti perihal hukum tatabahasa dan tanda baca terutama ketika proses penghasilan buku teks. Penelitian Pak Asraf dalam bekerja dan mengajar turut membantu beliau sebagai seorang editor dan ketua editor yang berjaya.\nMemang menjadi rezeki saya untuk bertemu dengan Pak Asraf dan akhirnya saya berjaya menjadi editor dan ketua editor juga.\nEncik Suhaimi turut berkongsi ilmu tentang penggunaan partikel \u201clah\u201d yang digunakan oleh Pak Asraf ketika bekerja sebagai editor, iaitu \u201ctulislah\u201d, \u201cdengarlah\u201d dan \u201cbacalah\u201d, yang diilhamkan daripada al-Quran, iaitu melalui surah al-Alaq. Katanya, Allah menggunakan perkataan \u201cbacalah\u201d dan bukannya \u201cbaca\u201d kepada hamba-Nya.\nWalaupun kedua-dua perkataan ini kelihatan membawa makna yang sama tetapi sebenarnya berbeza dari aspek suruhan." "Cabaran Bahasa ialah Cabaran Budaya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSerdang \u2013 Universiti Putra Malaysia (UPM) mengadakan aktiviti kebahasaan bersempena sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka sejak 7 Oktober lalu dan bakal berakhir pada 9 Februari 2022. Pelbagai aktiviti ke arah memartabatkan bahasa melalui program-programnya telah dijalankan, seperti pidato, semarak pantun dan klinik bahasa yang melibatkan penyertaan daripada pelbagai bidang.\nBegitu juga pertandingan yang bakal berlangsung secara fizikal dan maya, iaitu deklamasi puisi. Usaha yang dilakukan oleh Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi sebagai badan peneraju dan pelaksana ini adalah bertujuan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.\nSalah satu program yang wajar diambil perhatian ialah Forum Gagasan dan Cabaran dalam Pengukuhan Jati Diri Rakyat Malaysia yang berlangsung pada 13 Oktober 2021 jam 10.00 pagi. Pelbagai isu jati diri dikupas berserta cabaran yang merintangi, termasuk usaha-usaha yang perlu dilakukan bersama demi memastikan nilai kecintaan terhadap bahasa kebangsaan tidak terhakis.\n\u201cJati diri ialah sikap yang boleh dilihat secara fizikal sebagai warisan ketara. Bahkan ia mencakupi aspek warisan tidak ketara apabila dinilai berdasarkan kejiwaan, kebahasaan dan semangat kesetiaan. Inilah cerminan perwatakan rakyat Malaysia yang membawa kepada rasa setia kepada negara sebagai satu bentuk kekuatan jati diri,\u201d ujar YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, Pengerusi Majlis Penasihat Warisan Peradaban Melayu.\nJelas beliau lagi, warisan sejarah budaya Melayu perlu diterima dalam sejarah kemerdekaan negara meskipun negara Malaysia berbilang kaum. Di samping itu, segala usaha meraikan warisan bukan Melayu perlu diraikan. Hal ini demikian kerana budaya Melayu merupakan induk pada kekuatan jati diri rakyat Malaysia. Amatlah penting dan menjadi tanggungjawab pucuk pimpinan negara untuk memastikan agar rakyat Malaysia fasih berbahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, malah ia berperanan sebagai penyatuan kaum di Malaysia.\n\u201cAmalkan warisan adat budaya dan bahasa Melayu sebagai teras utama. Ini bukan rasis sebaliknya sebagai tanda hormat,\u201d ujar Prof. Latiff.\nBeliau juga berpendapat bahawa pentingnya peradaban jati diri dari sudut budaya berpakaian kerana ia cerminan budaya hidup masyarakat di Malaysia. Penonjolan jati diri dapat dicungkil melalui amalan pengukuhan sebagai falsafah hidup. Lantaran itu, segala bentuk pengamalan budaya, sama ada budaya berbahasa dengan betul, budaya berpakaian atau segala bentuk budaya yang tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur hedonisme perlulah diperkasa.\n\u201cKami di GAPENA sangat menentang Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Ini langkah yang kurang bijak dan boleh membunuh bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan. Memusnahkan bahasa Melayu dalam peradaban sains dan teknologi adalah langkah kurang bijak sedangkan profesor-profesor dalam bidang sains, matematik dan teknologi amat fasih berbahasa Melayu. Justeru, apa wajarannya dilaksanakan PPSMI? Hal seumpama ini juga sudah dapat dilihat apabila di peringkat pengajian tinggi, jurnal-jurnal bertaraf ISI diwajibkan demi mengejar ranking dan pangkat. Ini membantutkan warisan peradaban negara kerana kita kekurangan jurnal dalam bahasa Melayu, sedangkan pemikir-pemikir dan sarjana yang bijaksana di Malaysia terlahir bukanlah daripada ukuran kebijaksanaan berbahasa Inggeris. Kita sepatutnya menulis dengan bahasa rasmi negara, iaitu bahasa yang difahami oleh rakyat Malaysia, bukan memaksa mereka wajib belajar bahasa Inggeris demi memenuhi keperluan dan kehendak politikus,\u201d jelas beliau.\nApabila melihat kepada negara-negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan misalnya, asas pengukuhan jati diri dipupuk melalui bahasa rasmi negara mereka dalam pengajaran dan pembelajaran. Mereka tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan dalam urusan-urusan rasmi negaranya termasuklah urusan pembelajaran. Contoh lain misalnya, Brunei Darussalam dan Indonesia merupakan antara negara yang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara mereka. Justeru, keakuan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak terlihat sepenuhnya.\n\u201cKepada Yang Berhormat, baru-baru ini mencadangkan dalam parlimen agar Kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) dimansuhkan, fikir-fikirkanlah. Cadangan memansuhkan TITAS itu kurang bijak. Jangan terlalu mengikut kehendak muda-mudi hingga menjejaskan warisan leluhur yang disanjung tinggi. Melaui TITAS, generasi kita mempelajari akar budi dan budaya nenek moyang mereka,\u201d luah beliau dengan tegas.\nManakala Profesor Dr. Muhammad Rezal Kamel Ariffin, Pengarah Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), UPM, melihat maksud jati diri dan cabarannya dari sudut sains dan matematik. Kata beliau, \u201cproses sejarah mesti dilalui dan dijadikan sumber kekuatan kerana implimentasinya pada zaman ini adalah berbeza. Hendak menjadi bangsa yang ada jati diri, perlu mengambil ilmu dalam apa jua konteks bahasa. Ambillah ilmu tidak tertakluk kepada bahasa yang kita gunakan di samping bahasa Melayu tetap dihormati kerana ia tonggak jati diri.\u201d\nProf. Rezal juga menegaskan bahawa gagasan dan pengukuhan jati diri rakyat Malaysia perlu berteraskan kesedaran sebagai hamba Allah. Hal ini penting kerana setiap perlakuan dipertanggungjawabkan kepada diri sendiri. Justeru ,kesedaran itu akan memandu langkah individu agar tidak melakukan perkara yang boleh merosakkan jati diri.\n\u201cJati diri ialah identiti individu, masyarakat dan negara bangsa yang mempunyai sifat ketuhanan yang dibanggakan. Misalnya, pecahan elemen Wawasan 2020 juga sebenarnya boleh dijadikan jati diri. Pendek kata, jati diri ialah perlakuan yang perlu memberi asbab pada kewujudan Malaysia,\u201d tukas beliau.\n\u201cSemua pemikir negara perlu duduk semeja. Jangan cacamarba dan tidak menyumbang kepada asbab kewujudan Malaysia kerana sains dan teknologi terpancar melaluinya.\u201d\nNasib bahasa Melayu dalam konteks sains dan matematik pada hari ini terlihat sebagai bahasa orang Melayu yang tunggang-langgang. \u201cKejayaan yang huru-hara diperoleh dengan senang, seperti kemunculan media sosial yang pantas, terjana pendapatan melaluinya. Tik Tok misalnya, suatu acuan baharu yang telah mengubah peradaban yang betul,\u201d ujar beliau.\nInilah contoh unsur-unsur budaya hedonisme yang menjurus pada kebahagiaan dan keseronokan. Hal ini sebenarnya telah masuk secara halus ke Malaysia sejak 1960-an. Bahkan wujud sejak zaman Sebelum Masihi, yang mengangkat slogan \u201ckesenangan dan keseronokan di dunia sebagai ketenangan rohani\u201d. Justeru, sebagai masyarakat dan bangsa yang menghormati adat dan adab ketimuran, berpegang pada kepercayaan terhadap agama menjadi tanggungjawab kita, dan menolak \u201ckesenangan dan keseronokan di dunia\u201d semata-mata. \u201cCabaran bahasa ialah cabaran budaya apabila budaya tidak memahami bahasa. Maka tidak hairanlah dalam urusan kerajaan juga terdapat budaya hedonistik. Lantaran itu, ia perlu ditangani kerana (hal ini) di luar kawalan ahli akademik.\u201d\nPada akhirnya, panel forum bersepakat bahawa pucuk pimpinan negara memainkan peranan penting untuk mengubah dan mencorak jati diri rakyat Malaysia kerana kuasa veto di tangan mereka. Dengan rekayasa jati diri mereka dahulu, barulah bahasa Melayu dapat menjadi asas kekuatan jati diri dan bahasa perasaan masyarakat Malaysia keseluruhannya.\nTonton forum penuh di sini." "Peranan Alam Mempengaruhi Penulisan Novel Warna Sebuah Lembah (Bhg. 1)\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nOsman Ayob berkongsi pengalaman kreatifnya, khususnya dalam peranan alam terhadap novel sulungnya, Warna Sebuah Lembah.\nBetapa pedih dengan deritanya hati seseorang pengarang ketika menggarap novelnya, dan hal ini menjadi \u2018bahagia\u2019 yang sukar digambarkan apabila pengarang sampai di penghujung dan meletakkan noktah pada ayat terakhir .\nSemua karya kreatif, khususnya novel, lahir daripada keprihatinan pengarang dengan persekitarannya. Persekitaran yang dimaksudkan ialah apa-apa yang dialami oleh pengarang melalui pancainderanya; mata yang melihat, telinga yang mendengar, suara yang mencetuskan komunikasi antara pengarang dengan khalayak, di samping pembacaan yang turut\u00a0 mempengaruhi sensitiviti yang secara langsung membentuk pertautan antara realiti dengan imaginasi yang akhirnya, lahirlah sesebuah karya kreatif.\nNovel sebagai karya kreatif lahir daripada daya sensitiviti yang mendalam daripada pengarangnya. Lazimnya, seseorang pengarang yang tersentuh dengan sesuatu peristiwa yang alami, didengar dan dirasainya, mempunyai keinginan untuk merakamkannya dalam bentuk karya yang boleh menjadi dokumentasi yang akan menjadi kenangan dalam hidupnya. Namun begitu, proses untuk melahirkan dokumentasi kreatif itu (dalam hal ini, novel) bukannya mudah. Ada takah-takahnya; peringkat demi peringkat perlu dilalui sebelum terhasil sebuah novel yang baik.\nPada peringkat awal, pengarang perlu menulis sinopsisnya dahulu dengan ringkas dan padat. Sinopsis mengandungi permulaan daripada asas cerita dan persoalan yang kukuh dengan permasalahannya, dan berakhir dengan happy atau unhappy ending. Daripada sinopsis ini, pengarang yang sudah memantapkan keinginan untuk menghasilkan sebuah novel tentu dengan mudah dapat mengembangkan sinopsis itu menjadi lebih luas dan teliti lagi. Dengan itu, timbullah watak dan perwatakannya, konflik yang timbul antara satu watak dengan watak yang lain, berputar daripada satu persoalan cerita yang menjadi tema yang ingin diketengahkan oleh pengarang.\nSemua ini mesti bertapak pada satu latar belakang dan persekitaran yang selari dengan alur cerita. Seterusnya, pengarang yang sudah sebati dengan cerita yang mahu ditulis, sering tergganggu fikirannya, sehingga terbawa-bawa ke mana sahaja dia berada, sudah pasti boleh memulakan susunan pecahan bab mengikut plot yang telah ditetapkan. Meskipun ketika dalam proses penulisan, pecahan bab mungkin boleh ditambah dan dikembangkan lagi.\nHal ini merupakan gambaran bahawa pengarang semakin terbuka sensitiviti dan mindanya untuk menggarap persoalan yang ingin diketengahkan dengan lebih mantap lagi. Jika hal ini sudah dicapai, maka pengarang yang setiap ketika bergelumang dan berfikir bersama watak dan perwatakan dalam novelnya, sudah memiliki satu kesungguhan yang\u00a0 mengingatkan kita kepada kata-kata Sasterawan Negara A. Samad Said yang tepat sekali pengertiannya, \u201cderita dalam bahagia\u201d. Maksud beliau ialah, betapa pedih dengan deritanya hati seseorang pengarang ketika menggarap novelnya, dan hal ini menjadi \u201cbahagia\u201d yang sukar digambarkan apabila pengarang sampai di penghujung dan meletakkan noktah pada ayat terakhir dalam novel yang sudah sekian lama ditulis dengan segala susah payah dan tekanan mental dan perasaannya.\nMeskipun terdapat perbezaan menulis sebuah novel dengan sebuah novel yang lain, supaya tulisan ini menjadi lebih fokus, penulis akan memberi tumpuan kepada penulisan novel Warna Sebuah Lembah\u00a0(DBP, 1990).\u00a0Keistimewaan yang ada pada novel ini selain ia merupakan novel sulung penulis, yang lebih penting ialah bagaimana novel ini lahir daripada pengalaman penulis yang hidup di sebuah kampung yang dikelilingi sawah padi di Kedah lalu berhijrah dan memulakan penghidupan baharu di Kuala Lumpur, yang bukan sahaja penuh dengan cabaran (juga perbezaan), bukan sahaja dari segi rentak kehidupan tetapi yang lebih penting ialah penulis berhadapan dengan suasana alam, manusia dan masyarakatnya, perangai dan tingkah laku mereka yang complicated akibat daripada cabaran hidup semasa.\nPengalaman dan Dugaan Hidup di Kuala Lumpur\nKampung Simpang Batu terletak dalam sebuah lembah di tepi sungai yang terlindung daripada pandangan orang ramai yang lalu-lalang .\nPenulis berhijrah ke Kuala Lumpur setelah mendapat tawaran jawatan Kerani di Ibu Pejabat Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia (JHEOA) Kuala Lumpur. JHEOA terletak di tingkat 11, Wisma Keramat, Jalan Gurney (sekarang Jalan Semarak). Penulis melaporkan diri untuk bertugas pada 1 Mac 1976 dengan tawaran gaji pokok RM180.00 sebulan. Dengan gaji tersebut, cuba bayangkan bagaimana penulis walaupun masih bujang boleh memulakan penghidupan di Kuala Lumpur, sedangkan pada masa itu kos hidup sudah tinggi dan membebankan. Tidak menghairankan jika ketika itu, pertumbuhan kampung-kampung setinggan amat rancak, bukan sahaja di sekitar Kampung Baru, Kampung Datuk Keramat, Jalan Ipoh hingga membawa ke Sentul, Gombak, Batu Cave, dan di merata tempat lagi.\nDengan bantuan bapa saudara penulis yang pernah bekerja di Kuala Lumpur, penulis dibawa menumpang di rumah rakannya yang tinggal di Kampung Simpang Batu; sebuah perkampungan setinggan yang terletak di sebuah lembah tepi sungai yang sentiasa deras airnya, walaupun ketika tiada hujan. Perkampungan ini boleh dimasuki melalui Jalan Ipoh, di celah-celah rumah-rumah orang Cina yang memelihara banyak anjing. Perkara ini belum mengambil kira anjing-anjing liar yang berkeliaran dan berbahaya kepada pejalan kaki, terutamanya pada waktu malam. Laluan itu ialah sebuah titi gantung yang sentiasa teroleng-oleng. Kerana kedudukan titi gantung yang hanya muat seorang untuk lalu di tebing sebelah rumah Cina yang lebih tinggi dari tebing sebelah kampung, ia agak berbahaya dan menjadi kemestian setiap orang untuk berpaut pada tali regang. Akan tetapi, titi itu tetap penting: menjadi laluan penduduk pergi dan balik dari kerja, baik siang mahupun malam.\nSatu laluan masuk lagi ialah melalui tepian Bulatan Jalan Kucing yang sentiasa sibuk dengan kenderaan keluar masuk ke Kuala Lumpur dari utara. Di tepi bulatan ini, terdapat tanah lapang yang akhirnya dibangunkan menganjur hingga ke Menara UMNO dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang terkenal itu. Kini, PWTC telah berubah nama; Pusat Dagangan Dunia. Perlu digambarkan bahawa dari tepi sungai berhampiran Balai Bomba yang masih wujud hingga sekarang, menganjur di atasnya beberapa pokok paku lima yang rendang dan tinggi, tumbuh di atas sebidang tanah datar, di mana sekarang tegak bangunan UMNO yang menjadi kebanggaan orang-orang Melayu.\nKampung Simpang Batu terletak dalam sebuah lembah di tepi sungai yang terlindung daripada pandangan orang ramai yang lalu-lalang, sama ada melalui Bulatan Jalan Kucing atau Jalan Sultan Ismail. Kampung itu terletak betul-betul bertentangan dengan sebuah bukit di seberang sungai yang bercerun curam, tinggi dan semak, di atasnya terletak Sekolah Menengah Seri Puteri yang menghimpunkan ramai pelajar perempuan terpilih dari seluruh negara. Kebanyakan kegiatan luar di sekolah itu, antaranya pasukan pancaragam atau orkestranya ketika berlatih dapat didengar oleh penduduk Kampung Simpang Batu.\nPenulis ditumpangkan di rumah seorang buruh bandar raya, rakan bapa saudara yang baik hati. Menyedari pendapatan penulis yang kecil, penulis diterima dengan senang hati dan berharap agar penulis dapat menyesuaikan diri dengan suasana kehidupan di kampung setinggan yang daif dan sesak itu. Bagi penulis, dapat menumpang di rumah buruh tersebut adalah sesuatu yang amat disyukuri.\nBuruh tersebut mempunyai dua orang anak kecil dan seorang isteri yang rajin dan tidak banyak kerenah. Sebelum pulang, bapa saudara penulis berpesan supaya penulis dapat bekerja dengan tekun selain dapat merasai kehidupan dalam persekitaran kampung setinggan yang tentu amat berlainan dengan kehidupan kampung di Kedah. Bapa saudara penulis juga berharap, apabila sudah bekerja dan mempunyai ramai kawan, penulis bolehlah mencari tempat tinggal lain yang lebih sesuai dan selesa. Oleh sebab ketika itu masalah dadah tidaklah seteruk sekarang, penulis dapat menikmati kehidupan yang agak tenteram. Hal yang lebih penting, penulis dapat mengutip pengalaman hidup yang amat berharga selama hampir setahun tinggal di kampung tersebut.\nBibit-bibit Lahirnya Idea Menulis Warna Sebuah Lembah\nPada waktu pagi, sama ada bas Sri Jaya mahupun bas mini sentiasa padat dengan penumpang. Pada masa itu, penduduk di sekitar Lembah Keramat sudah ramai berikutan pertumbuhan rumah-rumah baharu dan kilang-kilang perusahaan atau industri ringan yang menganjur hingga ke Hulu Kelang.\nSetiap pagi lepas subuh, penulis menggunakan jalan keluar sebelah Bulatan Jalan Kucing. Penulis terpaksa mendaki jalan tanah merah, boleh muat kereta untuk turun dan naik. Jalan itu agak tinggi dan jauhnya hampir 50 meter untuk sampai ke atas jalan yang berhadapan dengan bulatan yang sentiasa sibuk, baik siang mahupun malam.\nDari Bulatan Jalan Kucing, penulis berjalan kaki sahaja ke Chow Kit. Berjalan kaki merupakan \u201cjoging\u201d yang biasa bagi penulis. Penulis melintasi sungai dan di tepi tebing sebelah kanan, terletak Balai Bomba, manakala di kiri terletak pintu masuk Sekolah Menengah Seri Puteri yang terkenal itu. Penulis mendapat tahu, isteri Ketua Pengarah JHEOA, Dr. Baharon Azhar Rafie mengajar di sekolah berprestij itu. Ke hadapan lagi, terletak pula Sekolah Menengah Maxwell dan sebuah hotel yang masih wujud hingga sekarang. Terdapat sebuah bulatan di mana bertembung pula Jalan Ipoh yang tidak kurang sibuknya. Bulatan itu tidak wujud lagi setelah dibina jejambat bertingkat sekarang.\nDari bulatan tersebut, penulis berjalan kaki sahaja ke Chow Kit yang jauhnya lebih dari satu kilometer. Di Chow Kit terdapat sebuah lagi bulatan dan tidak jauh dari situ ialah perhentian bas Sri Jaya ke Jalan Gurney dan Keramat. Tambang untuk ke Wisma Keramat ialah 30 sen sahaja, tetapi jika menggunakan bas mini, tambang yang dikenakan ialah 50 sen sehala. Pada waktu pagi, sama ada bas Sri Jaya mahupun bas mini sentiasa padat dengan penumpang. Pada masa itu, penduduk di sekitar Lembah Keramat sudah ramai berikutan pertumbuhan rumah-rumah baharu dan kilang-kilang perusahaan atau industri ringan yang menganjur hingga ke Hulu Kelang.\nWisma Keramat merupakan bangunan yang \u201chebat\u201d di Kuala Lumpur. Hal ini kerana, di sinilah terletaknya Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan dan Kementerian Kemajuan Tanah. Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan ialah Datuk Abdul Samad Idris (Allahyarham), manakala Menteri Kemajuan Tanah ialah Datuk Mohd. Asri Haji Muda (Allahyarham). JHEOA diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri kerana matlamat utama jabatan ini adalah untuk membawa pembangunan kepada masyarakat orang asli, di samping menyekat pengaruh komunis ke dalam kehidupan mereka.\nPenulis dapat bekerja dengan baik dan penuh dedikasi. Bekerja di ibu pejabat JHEOA meninggalkan kenangan yang tidak dapat dilupakan kerana Ketua Kerani, mendiang S. Thambinathan merupakan seorang \u201cbapa\u201d yang tidak jemu memberi tunjuk ajar dalam pekerjaan, selain memberi galakan bahawa kejayaan dalam hidup boleh disumbangkan oleh peningkatan dalam pelajaran. Justeru, pada tahun 1978, penulis telah lulus sijil penuh STP/HSC yang diambil secara persendirian. Sesuatu yang amat menggembirakan, malah tidak boleh dilupakan ialah nama-nama calon yang lulus STP/HSC disiarkan dalam akhbar Straits Time dan The Star. Apabila penulis meninggalkan JHEOA setelah tiga tahun berkhidmat, ia merupakan kenangan manis yang akan dipaparkan dalam memoir penulis kelak.\nSebelum timbulnya bibit-bibit untuk menulis novel Warna Sebuah Lembah, penulis sudah menghasilkan beberapa buah cerpen yang tersiar dalam akhbar dan majalah tanah air. Cerpen sulung penulis, \u201cMembawa Damai\u201d tersiar dalam akhbar Berita Minggu, 23 Mac, 1975. Sesungguhnya, hidup ini dipenuhi dengan cita-cita dan matlamat untuk peningkatan. Menulis cerpen merupakan permulaan untuk menulis karya yang lebih panjang dan luas skopnya; yakni novel. Jadi novel apa yang mahu ditulis? Jika cerpen-cerpen yang penulis hasilkan dikutip daripada pengalaman dalam hidup seharian, maka bukankah baik dalam novel juga dirakamkan pengalaman hidup yang sedang penulis lalui?\nDalam hubungan ini, penulis akur dengan pengakuan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad (2008:148), \u201cselama lebih kurang 10 tahun aku mengarang cerpen, bermula dari awal tahun 1950-an hinggalah sekarang, hanya pada awal tahun 1960-an sahaja baru aku memberanikan diri mengarang novel.\u201d Hal ini memperlihatkan bahawa, kesungguhan Shahnon untuk menulis novel bermula seperti menulis cerpen juga, iaitu bermula dari satu idea pokok yang sudah dipastikan sikap terhadapnya, memastikan pula matlamat terhadap sikap itu, meletakkannya pada satu latar yang cocok dalam segala bentuk sebelum \u201cdipasangkan\u201d ceritanya. Mengikut Shahnon lagi (1979:4), novel ialah satu bentuk pentafsiran hidup manusia menerusi satu bentuk sastera, iaitu cereka. Ia adalah satu rangkuman tiga faktor utama yang timbal-menimbal antara satu dengan yang lain, iaitu pengalaman peribadi, realiti rencaman hidup dan imaginasi.\nDaripada rentetan pengalaman Shahnon inilah menjadi bibit yang mendorong penulis untuk menulis novel. Penulis merasakan sudah mempunyai idea yang mencukupi untuk mengembara dalam ruang penulisan sebuah novel sulung yang berkesan. Berdasarkan pembacaan yang teliti daripada beberapa buah novel tulisan Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Pramoedya Ananta Toer, Ibrahim Omar, dan beberapa penulis yang lain, penulis mendapat kekuatan untuk menghasilkan sebuah novel. Penulis tertarik pada novel Ranjau Sepanjang Jalan, bagaimana Shahnon membawa elemen alam untuk menghidupkan watak dan perwatakannya. Penulis juga kagum dengan gaya penulisan A. Samad Said yang melukiskan suasana alam di Singapura dan memaparkan persekitaran Kampung Kambing dengan teliti sekali. Novel Salina\u00a0bagi penulis sangat berjaya dengan unsur alamnya yang begitu berkesan dalam menghidupkan suasana cerita. Sama halnya dengan Keluarga Gerilya\u00a0karya Pramoedya, walaupun latar konflik atau perang yang singkat, tetapi alam banyak membantu menghidupkan kisah yang dipaparkan dengan berkesan sekali. Selain itu, dalam novel Desa Pingitan\u00a0karya Ibrahim Omar, suasana desa yang aman damai membangkitkan naluri yang indah dengan realiti kehidupan tradisional dalam sebuah kampung yang menjadi latar dalam novel tersebut.\nLahirnya idea untuk menulis Warna Sebuah Lembah banyak didorong oleh persekitaran alam, ulang-alik penulis ke tempat kerja dan kesibukan panorama Kuala Lumpur itu sendiri. Inilah \u201casas utama\u201d bagaimana elemen alam memainkan peranan menyalakan dorongan untuk menulis sebuah novel. Asas utama inilah yang merendang dan menjadi ranting yang lebih lengkap berkaitan alam, sehingga terciptanya Warna Sebuah Lembah. Bertolak daripada asas utama pembentukan alam ini, beranting dan merendanglah elemen-elemen lain yang saling lengkap-melengkapi dengan pembentukan alam yang lebih terperinci. Rahimah A. Hamid (2017:73) memetik Emerson melihat alam sebagai penawar yang memberikan kesan positif kepada rohani dan jasmani manusia. Tegasnya lagi, alam ialah objek yang tidak statik, sebaliknya selalu mengalami perubahan. Justeru, keindahan alam boleh terus-terusan dinikmati oleh manusia, tanpa menimbulkan rasa jemu. Gejala-gejala perubahan alam yang rutin berlaku, misalnya pergantian musim, merupakan kesempurnaan fenomena yang mampu merangsang akal intelek manusia supaya berfikir secara rasional bahawa setiap kejadian itu ada tujuannya.\nBaca Bahagian Kedua Refleksi | \nPeranan Alam Mempengaruhi Penulisan Novel Warna Sebuah Lembah (Bhg. 2)\n\n_________________________\nOsman Ayob sudah menghasilkan lebih 166 cerpen. Beliau juga penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 bagi kumpulan cerpen Bayangan Silam (DBP, 2009). Antara kumpulan cerpennya termasuklah Bayangan Rindu (1981), Musim itu Telah Berlalu (1984), Detik yang Tergugat (1988), Di Pinggir Kesedaran (1993), Melamar Rindu (2001), Perginya Seorang Srikandi (2011), Tembok Masih Tinggi (2014), dan Gila Tak Gila (2017). Selain menulis cerpen, beliau juga menghasilkan lebih 30 buah novel. Novel remajanya, Meniti Impian menjadi teks KOMSAS tingkatan dua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan bagi tahun 2016\u20132020." "Tamsil Air, Sungai dan Paya dalam Kearifan Nenek Moyang Melestarikan Alam Sekitar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Folklor merupakan bidang warisan tradisional yang mencakupi sastera lisan, lagu rakyat, permainan rakyat, persembahan rakyat, ukiran, dan adat sebagai kebudayaan turun-temurun dari zaman lampau.\nSalah seorang pembentang semasa berlangsungnya Webinar Antarabangsa Folklor Malaysia bertemakan Laut, Sungai dan Paya pada 3 Disember lalu ialah YBhg. Dato\u2019 Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Alam Sekitar dan Air Malaysia.\nKSU mengetengahkan pengetahuan luasnya tentang sastera dan folkor yang dikaitkan dengan kepentingan, permasalahan dan wawasan tentang air serta pencemaran alam pada mutakhir ini.\nZaini menitipkan tiga pesanan sebagai wawasan melestarikan kepentingan air.\nPertama, \u201cMari kita belajar resmi air:\nKetika sedikit perlu berdikit,\nKetika banyak perlu berhemat,\nKetika melimpah boleh merakit,\nKetika meruah menghayut bukit!\u201d\nKedua, \u201cMari kita cuba fahami bahawa laut, sungai dan paya adalah petunjuk dan petanda duniawi dan ukhrawi:\nSungai adalah petunjuk budaya,\nLestari sungai tandanya subur budaya,\nBersih sungai tandanya bersih jiwa,\nMakmur sungai tandanya makmur seluruh nusa bangsa.\u201d\nKetiga, beliau menambah, untuk melestarikan laut, sungai dan paya, kita jangan hanya menjadi pemerhati yang resah, penulis yang pasrah atau sekadar aktivis yang lelah. Kita perlu kefahaman tentang tatacara untuk melestarikan alam. Mencari dalil untuk lebih proaktif. Menuruti sunnah supaya tekun berusaha melaksanakan amanah.\nKSU turut membuktikan ketepatan pemerhatian, pengalaman dan pengetahuan orang tua-tua Melayu dengan ilmu moden kini.\nBeliau menerangkan, \u201cDalam tradisi masyarakat Melayu, kita sering kali diingatkan untuk mengetahui tentang kemungkinan terdapat sumber air dengan hanya melihat sesebuah persekitaran. Petuanya, ada bukit, adalah paya. Ini bermakna aliran air dari kawasan berbukit akan menitiskan air sehingga membentuk anak sungai dan mewujudkan ekosistem akuatik dengan paya atau tasik kecil sebagai sebuah sistem penyimpanan air tabii. Biasanya, ikan dan hidupan air lain mudah membiak dalam ekosistem tasik.\u201d\nMalahan, beliau mendalami pemikiran nenek moyang, menjelaskan hakikat yang tersirat bahawa \u201cBagai puyu di air jernih ialah ungkapan betapa kejernihan air menandakan kehidupan sejahtera dalam kemakmuran dan kesenangan.\u201d\nIr. Dr. Zaini turut memberikan renungan kepada para peserta bahawa dalam alam duniawi ini, sungai berperanan sebagai urat saraf dan petunjuk peradaban sesebuah bangsa. Beliau turut menjelaskan, semakin bersih aliran dan siratan sungai, semakin bersih dan sihat sesebuah warga negara bangsa. Begitulah sebaliknya jika sungai dipenuhi sampah dan bahan cemar, maka semakin berisiko jasad seluruh warga dengan pelbagai kemungkinan penyakit, banjir dan bencana lain.\nPada kesempatan pembentangan ini dengan tajuk \u201cLestari Air Lestari Alam\u201d, beliau turut memberitahu bahawa dari segi pengurusan sumber air, Malaysia beriklim tropika yang dikurniakan hujan melebihi 2500 mm setahun, berbanding kurang 100 mm di negara-negara Teluk, kurang 1000 mm di Britain, Belanda, Perancis, dan Jerman. Fakta yang dikemukakan ini mengejutkan para peserta. Justeru, umum tidak menyangka sama sekali, sebegitu banyak potensi sumber asas air bagi Malaysia, berbanding kebanyakan negara lain di dunia ini.\n\u201cJusteru, jika berlaku ketidakcukupan sumber air, bukanlah kerana kurniaan Tuhan yang terhad, tetapi kerana ketidakcekapan, kesantaian, bahkan kecuaian kita mengurus sumber dan bekalan air,\u201d katanya.\nPada akhir pembentangan, beliau menggesa, \u201cMarilah kita belajar daripada laut, sungai dan paya. Para karyawan menjadikan laut sebagai latar kebiruan, sungai sebagai laluan perhubungan, dan paya sebagai sumber rezeki berlimpahan.\u201d\nDato\u2019 Seri Ir. Dr. Zaini Ujang merupakan salah seorang antara lima pembentang kertas kerja ucap utama webinar antarabangsa folkor ini, di samping Sahibus Samahah Mutfi Negeri Kelantan, Dato\u2019 Shukri Mohamad, Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia, Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, Dato\u2019 Dr. Anwar Ridhwan, dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Abang Patdeli Abang Muhi.\nWebinar ini dianjurkan bersama oleh Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) dan Persatuan Sastera Lisan Malaysia (PSLM), dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), berserta Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan sebagai Penaung. Manakala Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK) turut serta sebagai rakan kerjasama.\nWebinar ini berlangsung selama dua hari pada 3-4 Disember sepanjang pagi hingga malam, dengan 30 buah kertas kerja yang menarik minat hampir 7000 orang peserta melalui Pelantar Sosial DBP dan Aplikasi Zoom bagi keseluruhan segmennya. Manakala majlis perasmian pula diikuti seramai 4790 orang peserta. Webinar ini dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa tersebut, YB. Mejar (B) Dato\u2019 Md. Anizam Abd. Rahman.\nTonton majlis perasmian dan pembentangan kertas kerja ucap utama di sini." "Dialog Puncak Karyawan ASASI ke-31 Himpun Penulis Kedah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani \u2013 Selain tanah Kedah yang subur sehingga dikenali sebagai Jelapang Padi Malaysia, negeri ini juga diiktiraf sebagai \u201cladang penulis\u201d oleh para pengkaji sastera tanah air. Antara penulis yang berasal dari Kedah termasuklah Sasterawan Negara (SN) Shahnon Ahmad, SN Abdullah Hussain, Kassim Ahmad, SN Zurinah Hassan, Azizi Haji Abdullah, Puzi Hadi, Osman Ayob, Wan Shamsuddin Mohd. Yusof, Awang Had Salleh, Abdul Halim \u2018R\u2019, Hasan Baseri Budiman, Wan Nor Azriq, dan ramai lagi. Dalam erti kata lain, Kedah merupakan sebuah negeri yang paling ramai penulis berbakat besar. Sehingga kini, senarai penulis Kedah yang prolifik, berketerampilan dan berwawasan tidak pernah putus.\nDialog Puncak Karyawan ASASI adalah antara kegiatan Angkatan Sasterawan Nasional (ASASI) Negeri Kedah yang diadakan setiap tahun, bertujuan untuk memberikan peluang kepada penulis pemula mendapatkan bimbingan penulisan daripada penulis mapan. Tahun ini merupakan penganjuran Dialog Puncak yang ke-31, diadakan pada 17\u201318 Disember 2021 di Hotel Zaque\u2019s, Sungai Petani. Pengisian Dialog Puncak ini dipenuhi dengan bengkel bimbingan penulisan, bedah karya, bicara karya, dan Majlis Pelancaran buku karyawan ASASI yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nMenerusi ucapan perasmian penutupan yang disampaikan oleh YBhg. Tuan Haji Hamzah Hamdani, Setiausaha Gabungan Penulis Nasional (GAPENA), beliau memaklumkan bahawa satu projek kolaboratif antara DBP dengan GAPENA akan diadakan pada tahun hadapan, iaitu penulisan sejarah persatuan-persatuan penulis di Malaysia. Menurut beliau, sejarah persatuan penulis perlu dirakam dalam bentuk penulisan supaya dapat diambil iktibar oleh generasi muda.\nSebelum itu, diadakan bicara karya bagi novel Kempeitai tulisan Putraery Ussin, dibicarakan oleh Haji Zulkefli Dollah. Seterusnya, kumpulan puisi remaja\u00a0Jalan Dugaan\u00a0 karya Wadiassofi Jaafar dibicarakan oleh Mohamad Azmi Ab Rahman. Kedua-dua karya yang dibicarakan diterbitkan oleh DBP dan sesi bicara karya disiarkan menerusi Facebook Langsung DBP.\nDialog Puncak ini diakhiri dengan acara Majlis Pelancaran buku Karyawan ASASI yang disempurnakan oleh Haji Hamzah Hamdani. Antara buku yang dilancarkan termasuklah antologi puisi Naskhah Hayat, Biografi Sasterawan Negara Shahnon Ahmad: Anak Nan Bertuah, buku kajian Tradisi Penulisan Puisi: Pengarang Wanita Abad ke-20, novel Hikayat Perempuan, kumpulan puisi Dongengan Anjing-anjing, antologi cerpen Kemuncak Pauh Janggi, Travelog Cinta Singgora, Jalan Dugaan, Bebaling,\u00a0dan Putih Si Gajah Kerdil. \nTonton acara bicara karya penuh di sini." "Kedah Anjur Anugerah Sastera Darul Aman Tahun Depan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani \u2013 Pada tahun 2022, Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan Anugerah Sastera Darul Aman (ASDA) yang bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada para penulis Kedah yang banyak menyumbang idea dan menghasilkan karya sastera. Hal ini diucapkan oleh Ketua Satu ASASI, Encik Abu Hassan Morad pada Dialog Puncak Karyawan ASASI 2021 yang diadakan di Hotel Zaque\u2019s pada 17 dan 18 Disember 2021.\nMenurut Abu Hassan Morad, inilah masanya para karyawan Kedah, aktivis dan pengurus sastera perlu bergabung secara bersama dalam usaha menilai semula agar kewujudan ASDA mampu direalisasikan ke arah usaha memartabatkan dunia kesusasteraan Melayu di Kedah.\nHadiah sastera negeri merupakan salah satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan penulis negeri, khususnya dalam penghasilan karya yang bermutu serta terbaik untuk bacaan masyarakat dan peminat sastera.\nKebanyakan hadiah sastera negeri dilaksanakan dengan kerjasama DBP pada peringkat cawangan ataupun wilayah, tetapi terdapat juga beberapa negeri yang tidak membabitkan DBP, seperti negeri Pahang dan Selangor. Sehingga kini, tiada pengiktirafan diwujudkan dalam usaha memberi sumbangan kepada penulis-penulis negeri Kedah.\nSepanjang dua hari program Dialog Puncak ke-31 berlangsung, pelbagai aktiviti turut diadakan, iaitu bengkel cerpen yang disampaikan oleh Wildan Haya dan Putraery Ussin, manakala bengkel puisi disampaikan oleh Ibnu Din Assingkiri. Bagi bengkel skrip drama pula, ia disampaikan oleh Pensyarah Bahasa dari Universiti Putra Malaysia, iaitu Dr. Ummu Hani Abu Hassan.\nCeramah mengenai aspek bahasa dan penyuntingan dalam karya sastera, iaitu cara menghasilkan manuskrip dan menghantar manuskrip kepada DBP disampaikan oleh Ketua Editor Bahagian Buku Sastera DBP, iaitu Puan Nurul Julia Henry. Sementara itu, Editor Bahagian Buku Sastera DBP Puan Zaharahanum Kamarudin pula menyampaikan ceramah mengenai cara-cara menghantar karya untuk majalah-majalah terbitan DBP.\nMajlis yang diadakan itu turut diserikan dengan persembahan bacaan puisi oleh Chef Faizal Mehat serta pelancaran buku karya ahli ASASI yang disempurnakan oleh Bendahari GAPENA, iaitu Tuan Haji Hamzah Hamdani.\nMajlis juga turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada peserta-peserta bengkel yang berjaya menghasilkan puisi dan cerpen terbaik bersempena dengan Dialog Puncak kali ini. Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Bendahari GAPENA, Tuan Haji Hamzah Hamdani.\nBerita Berkaitan |\nDialog Puncak ke-31 Himpun Penulis Kedah" "Kedah Terpilih sebagai Tuan Rumah Hari Puisi Nasional 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Petani \u2013 Negeri Kedah Darul Aman akan menjadi tuan rumah kepada Hari Puisi Nasional pada tahun 2023, dengan kerjasama Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI), Kerajaan Negeri Kedah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA). Hal ini diucapkan oleh Ketua Satu ASASI, Encik Abu Hassan Morad pada Dialog Puncak Karyawan ASASI 2021 yang diadakan di Hotel Zaque\u2019s pada 17 dan 18 Disember 2021. Penganjuran ini ialah kesinambungan daripada program yang diadakan di Johor Darul Takzim pada tahun ini.\nMenurut Abu Hassan Morad lagi, penganjuran tersebut diharap mampu menjadikan Kedah sebagai salah satu destinasi pilihan kepada peserta-peserta program untuk mengenali Kedah dengan lebih dekat lagi.\nLokasi program itu akan diadakan di Daerah Padang Terap, yang diwakili oleh Ahli Parlimen Padang Terap, iaitu YB Mahadzir Khalid merangkap Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB).\nPeruntukan khas untuk penganjuran program itu akan disalurkan oleh Pejabat Parlimen Padang Terap dan juga daripada Kerajaaa Negeri Kedah melalui Pejabat Menteri Besar Kedah.\nSepanjang dua hari program Dialog Puncak ke-31 berlangsung, pelbagai aktiviti turut diadakan, termasuk acara bicara karya yang melibat kumpulan puisi remaja Jalan Dugaan yang dihasilkan oleh Wadiassofi Jaafar dan diulas oleh Mohamad Azmi Ab Rahman dari Universiti Utara Malaysia, manakala novel Kempeitai hasil karya Putraery Ussin diulas oleh Haji Zulkefli Dollah.\nCeramah mengenai aspek bahasa dan penyuntingan dalam karya sastera, iaitu cara menghasilkan manuskrip dan menghantar manuskrip kepada DBP disampaikan oleh Ketua Editor Bahagian Buku Sastera DBP, iaitu Puan Nurul Julia Henry. Sementara itu, Editor Bahagian Buku Sastera DBP Puan Zaharahanum Kamarudin pula menyampaikan ceramah mengenai cara-cara menghantar karya untuk majalah-majalah terbitan DBP.\nMajlis yang diadakan itu turut diserikan dengan persembahan bacaan puisi oleh Chef Faizal Mehat serta pelancaran buku karya ahli ASASI yang disempurnakan oleh Bendahari GAPENA, iaitu Tuan Haji Hamzah Hamdani.\nMajlis juga turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada peserta-peserta bengkel yang berjaya menghasilkan puisi dan cerpen terbaik bersempena dengan Dialog Puncak kali ini. Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Bendahari GAPENA, Tuan Haji Hamzah Hamdani.\nBerita Berkaitan |\nDialog Puncak Karyawan ASASI ke-31 Himpun Penulis Kedah" "Puisi Panjang Rasulullah, Al-Amin Diraikan di Madrasah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Dianggap sebagai sebuah adikarya puisi sirah Rasulullah SAW, puisi panjang Al-Amin nukilan Sasterawan Negara Datuk Seri A. Samad Said diraikan dalam program Baca Puisi Al-Amin bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul 1443 Hijrah di Madrasah Darussolihin, Jalan Kebun, Shah Alam pada 16 Disember yang lalu. Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis, Ustaz Zawawi Mugni mahu membawakan kelainan dalam kegiatan hujung minggu para pelajar Madrasah Darussolihin yang berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri beliau.\nHasrat Ustaz Zawawi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Negeri Selangor itu mendapat sokongan Seniman Paksi Rakyat (Paksi). Lantaran minatnya itu, Zawawi bukan sahaja hadir dan berucap, malah turut mendeklamasikan fragmen sajak dalam Al-Amin.\nDalam ucapannya, Zawawi berharap pembacaan puisi indah Sasterawan Negara itu boleh memberikan semangat kepada seluruh warga madrasah tersebut. Selain membawakan kelainan, beliau berharap kesan daripada Baca Puisi Al-Amin juga mampu menyatukan insan.\nTernyata Baca Puisi Al-Amin menarik perhatian warga Darussolihin apabila beberapa orang pelajarnya turut naik ke pentas mendeklamasikan sajak.\nAntara ahli Paksi yang tidak ketinggalan beraksi termasuklah Presiden Paksi, Datuk Dinsman (Che\u2019 Shamsuddin Othman); Setiausahanya, Hasni Abas serta Yassin Salleh; Ayudez Zuraina; Anbakri Haron; dan Shariffah Khadijah sebagai pengacara.\nSewaktu mengacara majlis, Shariffah turut mendeklamasikan sajak karya Gus Mus, \u201cAku Merindukanmu Oh Muhammad\u201d.\nSelepas memberikan ucapan, Dinsman turut mendeklamasikan fragmen Al-Amin, serta dua buah sajak, iaitu \u201cMasih Bermimpi\u201d dan \u201cMenjadi Saksi\u201d yang terdapat dalam antologi terbaharunya, Ketika Aku Berfikir-fikir Akan Kematian (Paksi, 2021).\nHasni dan Ayudez turut mendeklamasikan fragmen Al-Amin. Walau bagaimanapun, Ayudez menambah persembahannya dengan sajaknya sendiri berjudul \u201cNurmu Ya Rasulullah\u201d.\nMohamed Nasser Mohamed yang juga Ketua Penerangan Paksi, mendeklamasikan sajaknya, \u201cTuhanku, Mampukah Aku Reda dengan Ujian-Mu\u201d yang didedikasikannya untuk seluruh mangsa tembakan rambang 15 Mac 2019, Christchurch, New Zealand.\nYassin, pengarah filem veteran tanah air dan penyair mendeklamasikan sajak beliau, \u201cRindunya My Love\u201d. Istimewanya, Yassin diiringi oleh anak perempuan beliau, Yasleh Rita Ayu yang kemudian menyanyikan sajak tersebut.\nAnbakri, penulis bebas dari Kota Bharu mengubah nada persembahan Paksi dengan dendangan dua buah lagu puisi, Kupaksa Cintaku dan Ada Cinta. Penyair veteran Selangor, Ahmad Sarju yang kebetulan tinggal berhampiran dengan Darussolihin tidak melepaskan peluang untuk hadir, sekali gus mendeklamasikan sajak beliau meskipun kelihatan agak uzur.\nBeberapa hari sebelum acara, Paksi sebagai penganjur bersama telah memuat naik poster di Facebook yang memaparkan nama dan wajah A. Samad Said atau Pak Samad \u2013 dengan saiz yang paling besar melebihi wajah tetamu yang lain. Pastinya ramai yang tertanya-tanya adakah Pak Samad akan muncul kembali di pentas bersemuka kerana beliau hanya berada di rumah sejak 18 Mac 2020, iaitu hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan. Pada usia 85\u201386 tahun, Pak Samad dinasihatkan oleh anak-anak beliau agar tidak ke mana-mana untuk mengelakkan bahaya ancaman COVID-19.\n\nJusteru, Pak Samad hanya muncul menerusi maya sahaja dari rumah beliau di Bangsar. Sasterawan Negara keempat itu turut mendeklamasikan stanza terakhir Al-Amin. Walau bagaimanapun, semua yang hadir teruja dengan kehadiran maya beliau.\nSelain Anbakri, kumpulan Kreatif Akustika yang semakin kerap menjayakan acara anjuran Paksi turut mendendangkan lagu-lagu puisi dan lagu lirik puitis. Antara lagu yang mereka sampaikan termasuklah Berita Buat Kawan, Perjalanan Hidup dan Apokalips, selain beberapa lagu selawat dan sanjungan Nabi Muhammad SAW.\nTertarik dengan persembahan Anbakri, kumpulan Kreatif Akustika turut menjemput beliau mendendangkan lagu popular kumpulan Kembara, Kepadamu Kekasih. Anbakri juga sebelum itu ikut mendampingi Kreatif Akustika dengan tiupan harmonikanya.\nDengan kejayaan acara berkenaan dan respons positif para pelajar Madrasah Darussolihin, kemungkinan Baca Puisi Al-Amin boleh merintis penganjuran acara yang serupa dapat diteruskan pada masa yang akan datang.\nBeli Al-Amin: Riwayat Hidup Rasulullah SAW dalam Puisi." "Menulislah dari Hati, Biar Sampai ke Hati\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNik Hazlina Nik Hussain, seorang insan dari dunia perubatan dan pengajian perubatan, mengongsi pengalaman menulis novel dan cerpen. \nSebagai doktor perubatan, kami juga insan biasa yang tidak dapat lari daripada masalah diri dan keluarga, yang diuji Allah menghidap penyakit yang tidak siapa pun ingini.\n\u2018Mampukah doktor perubatan bergelar cerpenis dan novelis? Tidak masuk akal kot!\u2019 Itulah persoalan yang bertubi-tubi mengasak minda saya. Sungguh saya tidak ada keyakinan diri pada mulanya untuk menjebakkan diri ke dalam dunia penulisan kreatif. Namun begitu, berpandukan ungkapan, \u201cmenulislah dari hati, biar sampai ke hati,\u201d saya berpegang teguh dan yakin, penulisan karya dalam bentuk cerpen dan novel merupakan kaedah yang lebih berkesan dan berjiwa untuk menyampaikan mesej, terutamanya mesej ilmu dan maklumat perubatan kepada masyarakat, dengan mengadunkan bahasa dan sastera Melayu sebagai alat penyampaian yang berkesan.\nDesakan naluri untuk menulis novel, ditambah pula dengan tujuan utama penulisan karya kreatif ini untuk menyebarluaskan maklumat dengan cara \u201csantai tetapi sampai\u201d, supaya mudah difahami, terutama kepada golongan masyarakat awam. Harapan saya dengan penulisan saya dalam bidang cerpen dan novel ini, maklumat perubatan dan kesihatan akan sampai kepada masyarakat bawahan secara sahih dari segi faktanya.\nHasratnya tinggi membara, namun begitu, saya pula tidak tahu bagaimana harus bermula. Walaupun saya berjaya menulis lebih daripada 30 judul buku umum dan beberapa judul buku ilmiah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan beberapa judul buku yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Sains Malaysia serta Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, kekuatan saya untuk menulis bidang kreatif tidak ada.\nBukanlah mudah untuk menulis novel. Tidak mudah memerah buah fikiran untuk merangka plot dan subplot sesebuah cerita dan menimbulkan konflik. Untuk mengatur ayat, menulis perbualan, menceritakan watak, menghidupkan suasana dalam cerita dan membuatkan emosi pembaca menaik dan menurun agar meruntun jiwa, lebih lagilah rumitnya. Hal ini penting untuk melonjakkan perasaan pembaca semasa menghayati sesebuah karya sastera, sama ada cerpen atau novel. Lantaran itu, menulis cerpen atau novel jauh lebih besar cabarannya, kerana kekuatan karya bukan semata-mata bergantung pada fakta yang kita kuasai, tetapi memerlukan kekuatan imaginasi dan fantasi untuk kreatif dalam penulisan.\nPenulis perlu kreatif membawa pembaca merasai jalur cerita. Dengan itu, pembaca tidak bosan. Bermakna penulis perlu menulis seolah-olah pembaca dapat melihat, mendengar, menghayati dengan emosi sesebuah cerita yang ingin disampaikan. Di samping itu, perlu dimasukkan fakta tambahan dalam ilmu perubatan dan kesihatan sebagai menepati cerpen atau novel yang berkonsepkan tema perubatan.\nYa, amatlah sukar untuk mendapat ilham bagi menulis plot dan subplot sesebuah cerita. Bagi menghasilkan sesebuah cerpen dan novel adalah amat berbeza dan bukannya mudah. Diri ini bukanlah orang seni. Kami orang sains dan kebiasaannya menulis mengikut fakta, pemikiran kami lurus. Untuk menulis cerita fantasi amat sukar sekali.\nBerpegang pada pepatah orang tua-tua, \u201ckalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya\u201d, usaha yang bersungguh-sungguh perlu jika kita ingin berjaya. \u201cKita perlu yakin Yang Maha Esa akan menganugerahkannya.\u201d Itu juga jalan kekuatan yang saya selalu bina, berkata-kata begitu kepada diri sendiri. Saya sedar minat menulis amat penting jika ingin menjadi seorang penulis. Minat perlu digandingkan dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Sebenarnya, bakat menulis karya kreatif boleh diasah dan dikembangkan. Namun begitu, masa perlu dicari. Disiplin diri juga perlu diperkasakan.\nSaya telah diamanahkan untuk mengetuai projek penulisan buku antara DBP dengan Universiti Sains Malaysia (USM) sejak tahun 2008. Kami telah didedahkan dengan taklimat perolehan, penulisan dan pemurnian buku umum dan ilmiah. Seterusnya pada tahun 2012, kami dibimbing pula bagi penulisan artikel. Hasil daripada bengkel-bengkel tersebut, penulis di Kampus Kesihatan berjaya menerbitkan buku umum, ilmiah dan juga menyumbangkan artikel perubatan dan kesihatan yang diterbitkan oleh majalah DBP.\nRentetan daripada kejayaan tersebut, pada akhir tahun 2012, saya telah menghubungi Datin Hajijah Jais yang ketika itu merupakan Ketua Editor Bahagian Buku Sastera DBP, menyatakan hasrat penulis kami untuk menulis karya kreatif pula. Syukur! Rupa-rupanya kami tidak bertepuk sebelah tangan. Pihak Bahagian Buku Sastera DBP menyambut hasrat kami dan telah mengadakan bengkel penulisan kreatif di Kampus Kesihatan USM. Jadi, bengkel Penulisan dan Pemurnian Karya Kreatif mula diadakan pada awal tahun 2013. Kami dibimbing oleh novelis tersohor tanah air, iaitu Puan Nisah Haron dan Cik Salina Ibrahim.\n\u201cIbarat orang mengantuk, disorongkan bantal\u201d, memang peluang itulah yang kami nanti-nantikan. Saya dan rakan-rakan penulis berkesempatan mengikuti bengkel tersebut. Seterusnya, kami berjaya mengadakan beberapa bengkel Penulisan dan Pemurnian Karya Kreatif di Kampus Kesihatan anjuran bersama DBP. Pada tahun 2016 dan 2018, kami dibimbing dalam bengkel Penulisan Karya Kreatif secara lebih intensif dan bersistematik sehingga kami berjaya menghasilkan antologi cerpen Isteriku 46XY.\nBerbekalkan ilmu hasil bimbingan Puan Nisah dan Cik Salina sebagai asas bagi penulisan novel, kami diajar untuk \u201cmereka\u201d atau menggambarkan cerita dan memasukkan maklumat perubatan dalam novel dengan berpandukan pengetahuan dan pengalaman semasa merawat pesakit. Maka, kami mula menulis kisah benar tetapi kemudiannya difiksyenkan, sejajar dengan diri dan jiwa sendiri.\nSemoga hasil karya ini juga menjadi iktibar kepada pembaca melalui kisah hidup masyarakat dan kekeluargaan yang menghadapi penyakit dan berjuang melawan penyakit.\nDalam hal ini, saya akan kongsikan berkenaan dua buah novel hasil tulisan saya, iaitu Cinta In Vitro dan Cinta Nan Bersemi Kembali. Cinta In Vitro terbitan DBP (2019) merungkaikan kisah sepasang suami isteri yang belum direzekikan zuriat sehingga terpaksa bergelut mencari kesempurnaan hidup berumah tangga. Mereka perlu melalui pelbagai cara rawatan infertiliti, sama ada kaedah tradisional mahupun moden dan akhirnya berhasil mendapat zuriat melalui rawatan infertiliti bayi tabung uji, atau dikenali sebagai persenyawaan in vitro (in vitro fertilisation-IVF).\nNovel ini telah terpilih bagi program pembinaan bakat siswa penulisan ilmiah tahun 2019 anjuran DBP dan Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia pada Februari 2019. Pengkaji (Hadijah Johari dan Nor Shahida Mohd. Shaker dari Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu\u2019adzam Shah, Kedah) mendapati bahawa wujudnya ketujuh-tujuh prinsip teori Takmilah dan dikategorikan sebagai hasil karya sastera Islam. Terdapat elemen tauhid, maqasid syariah, akhlak, ilmu kesihatan, dan perubatan. Banyak pengajaran dan input dakwah Islamiah yang dijadikan cerita dan alur cerita dalam novel ini.\nIlmu bantu berkenaan infertiliti, iaitu masalah infertiliti dan rawatannya, iaitu pengambilan ubat hormon, permanian beradas, persenyawaan in vitro, dan penyusuan anak angkat telah diolah berdasarkan konflik dalam karya.\nPengkaji juga berjaya menerbitkan hasil kajian mereka, \u201cRawatan Infertiliti Patuh Maqasid Shariah dalam Novel Cinta In Vitro Karya Nik Hazlina Nik Hussain Berdasarkan Teori Takmilah\u201d dalam Asean Journal of Management and Business Studies 1:1 2019. Alhamdulillah, terima kasih Nor Shahida dan Hadijah Johari atas pengkajian tersebut.\nSebagai perawat, kami cuba memberikan rawatan yang terbaik kepada pesakit-pesakit kami. Apatah lagi apabila melihat di depan mata kegagalan yang dialami oleh pesakit untuk mendapat zuriat walaupun telah menjalani cubaan demi cubaan. Sebagai hamba-Nya, dugaan ini menguatkan lagi keyakinan diri kepada Allah SWT. Kami para doktor mempunyai kepakaran bidang tetapi yang menjayakan usaha dan hasrat hanyalah Yang Maha Esa. Kesemua perkara berlaku adalah atas kehendak Allah SWT. Kita perlu sentiasa menaruh sangkaan yang baik kepada-Nya.\nKarya sebegini juga mempunyai nilai motivasi yang tinggi, terutamanya kepada pasangan yang mengalami masalah infertiliti atau pasangan yang telah lama mendirikan rumah tangga tetapi belum dikurniakan zuriat supaya tidak mengenal erti putus asa, tidak pernah jemu berusaha, sabar, toleransi, dan komitmen tinggi antara pasangan suami isteri.\nNovel Cinta Nan Bersemi Kembali\u00a0pula menyentuh masalah kewanitaan atau penyakit wanita pertengahan umur yang menghidap ketumbuhan fibroid. Jalur ceritanya tetap mempunyai pelbagai konflik dan sentuhan emosi antara setiap watak, terutamanya melibatkan perhubungan suami dan isteri yang berada di ambang usia menopaus dan andropaus. Si isteri terpaksa menjalani pembedahan pembuangan rahim (histerektomi) kerana masalah fibroid yang mengakibatkannya mengalami komplikasi pendarahan yang teruk (menoragia), malah hampir meragut nyawanya kerana rawatan secara ubat-ubatan sudah tidak berkesan kepadanya. Pemaparan konflik pasangan suami isteri dengan asbab penyakit menyebabkan hubungan suami isteri diuji dengan kegoyahan dan kesetiaan.\nKarya ini terpilih bagi Kajian Unsur Sains Moden dalam Sastera bertajuk \u201cAlat Sains Perubatan, Kaedah Rawatan, dan Jenis Ubat dalam Cinta Nan Bersemi Kembali karya Nik Hazlina Nik Hussain\u201d oleh Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP. Karya ini juga akan dikaji dari sudut lain, iaitu kajian sastera merentas disiplin ilmu. Kertas kerjanya pula berjudul, \u201cAplikasi Konsep Dharuriyyat, Hajiyyat dan Tahsiniyyat dalam Rawatan Fibroid dan Menoragia\u201d. Sebagai penulis, perkara ini amat menggembirakan!\nSaya kongsikan pula secara ringkas perihal antologi cerpen Isteriku 46XY. Karya ini ditulis oleh doktor pakar perubatan, pensyarah, juruteknologi makmal perubatan, dan seorang guru bahasa. Antologi cerpen Isteriku 46XY\u00a0yang bertemakan perubatan dan kesihatan memuatkan 23 cerpen, ditulis oleh 17 orang penulis yang membawa pelbagai persoalan dan kisah hidup masyarakat. Alhamdulillah, antologi ini telah dicetak ulang pada Februari 2020 kerana sambutan yang amat memberangsangkan!\nSebagai doktor perubatan, kami juga insan biasa yang tidak dapat lari daripada masalah diri dan keluarga, yang diuji Allah menghidap penyakit yang tidak siapa pun ingini. Sebagaimana kami perlu kuat semangat untuk memberikan nasihat kepada pesakit, begitu jualah kami perlu lebih bersemangat untuk memotivasikan diri dan keluarga kami sendiri, apabila kami yang merupakan perawat pula ditimpa musibah menghidap sesuatu penyakit.\nHasil karya kami membawa pelbagai persoalan dan kisah hidup masyarakat yang kami garapkan daripada pengalaman merawat pesakit, bahkan ada juga hasil karya ini berdasarkan kisah benar kami sendiri.\nMesej utama karya adalah untuk menyampaikan maklumat, ilmu pengetahuan dan fakta berkaitan perubatan, kesihatan dan pergigian dengan betul dan tepat. Karya-karya yang berbentuk novel dan cerpen yang ditulis oleh doktor-doktor pakar merupakan karya yang dihasilkan oleh mereka yang ahli dalam bidang masing-masing. Oleh sebab itu, ilmu serta fakta perubatan tidak diragui. Hasil karya juga, telah disemak akan kesahihan fakta. Maka, hasil karya perubatan yang diterbitkan akan sentiasa mengangkat isu semasa, yang semestinya istimewa, berkelainan, sahih, relevan, dan tahan uji.\nKami juga berharap agar pembaca yang terdiri daripada pesakit, keluarga pesakit, perawat yakni doktor termasuk bakal doktor, dan masyarakat umum, dapat mengetahui kaedah dan cara menangani kes pesakit, iaitu cara mencegah, mengawal, merawat, memaklumkan prognosis atau ramalan tentang penyembuhan sesuatu penyakit dan proses pemulihan.\nSemoga hasil karya ini juga menjadi iktibar kepada pembaca melalui kisah hidup masyarakat dan kekeluargaan yang menghadapi penyakit dan berjuang melawan penyakit. Justeru, dapat menjadi panduan, semangat, motivasi, dan inspirasi bagi membolehkan pesakit meneruskan kehidupan ini secara positif dan reda dengan ketentuan Ilahi.\nDaripada kisah tersebut, pesakit dapat mengadaptasikan kehidupan baharu, setelah berkongsi pengalaman membaca karya kreatif hasil nukilan doktor perubatan, yang kebanyakannya berdasarkan kisah benar, sama ada sebagai perawat pesakit atau sebagai pesakit.\nSemoga segala hasil penulisan yang saya dan rakan-rakan penulis di Kampus Kesihatan USM usahakan ini dapat dijadikan sedekah ilmu yang berpanjangan hendaknya. Itulah niat utama kami!\nRupa-rupanya, menulis karya kreatif ini memberikan lebih kepuasan yang tidak dapat diungkapkan. Semoga hasil karya dapat dimanfaatkan oleh orang ramai. Adalah menjadi harapan saya juga agar cerpen dan novel bertemakan perubatan, kesihatan dan pergigian ini diadaptasikan dalam bentuk drama atau filem pula. Hasil karya ini mempunyai nilai murni yang perlu dibudayakan oleh orang ramai.\nSememangnya, kejayaan ahli perubatan Kampus Kesihatan USM menghasilkan antologi cerpen Isteriku 46XY telah menaikkan semangat dan menguja rakan-rakan penulis pemula daripada bidang perubatan, kesihatan dan juga pergigian untuk turut serta dalam penulisan karya kreatif. Alhamdulillah dengan izin-Nya, tiga buah lagi antologi cerpen yang berjudul Suamiku 47XXY, Konspirasi Covid Rasukan SARS-CoV-2 dan Mustajabnya Tahajud Cinta berjaya dihasilkan.\nTernyata projek ini mendapat sambutan yang baik daripada pihak kakitangan USM, khususnya golongan profesional.\nSebagai kesimpulan, dapat saya rumuskan bahawa menulis cerpen dan novel lebih menyeronokkan. Penulis dapat \u201cmereka\u201d dan membawa alur cerita yang ingin disampaikan mengikut naluri sendiri. Bagi saya, saya lebih suka mengakhiri sesebuah cerita dengan peristiwa yang menggembirakan. Pada pendapat saya, penutup yang sedih membuatkan emosi pembaca merudum. Namun begitu, ada juga penulis menamatkan cerita dengan kisah yang tergantung kerana bercadang untuk meneruskan penulisan bagi judul seterusnya.\nSemoga segala hasil penulisan yang saya dan rakan-rakan penulis di Kampus Kesihatan USM usahakan ini dapat dijadikan sedekah ilmu yang berpanjangan hendaknya. Itulah niat utama kami! Berbekalkan minat dan usaha yang gigih, kami \u201cmencari dan mencuri\u201d masa kami yang tidak pernah berbaki untuk mencungkil bakat, sememangnya mempunyai minat dan bakat dalam bidang penulisan yang bukan hanya semestinya dikuasai oleh mereka yang berada dalam bidang bahasa dan kesusasteraan sahaja. Justeru, jadikanlah penulisan sebagai sebahagian daripada gaya hidup. Tulislah yang baik-baik, semoga yang baik-baik akan kembali kepada kita jua. Oleh itu, DBP juga dalam hal ini, telah berjaya melaksanakan peranannya dan matlamatnya \u201cmembina bakat penulis\u201d.\nBeli novel Cinta In Vitro dan Cinta Nan Bersemi Kembali.\n_________________________\nProfesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan. Beliau bertugas di Universiti Sains Malaysia (USM) sejak tahun 1990. Beliau bukan sahaja seorang pensyarah perubatan di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan USM, malah beliau juga Pakar Perunding Kanan Obstetrik dan Ginekologi. Beliau memegang jawatan sebagai Penyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita di PPSP sejak awal tahun 2010. \nSecara peribadinya, Nik Hazlina telah menerbitkan lebih daripada 30 buah buku umum berkaitan kesihatan wanita dan lelaki, dua buah buku ilmiah dan novel bertemakan perubatan dan kesihatan yang berjudul Memori Cinta Medik\u00a0(bersama Azidah Abdul Kadir), Mengejar Zuriat (bersama Samhani Ismail),\u00a0Cinta In Vitro dan Cinta Nan Bersemi Kembali. Atas sumbangan besar dalam penerbitan buku, beliau telah dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2017 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan Tokoh Pendidikan Wanita Kelantan 2019, iaitu Tokoh Sayyidatina Aisyah Abu Bakar." "\u201cPenghasilan Sajak Memerlukan Kotak Fikiran yang Luar Biasa\u201d \u2013 Awang Abdullah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSeramai 38 orang peserta daripada pelbagai latar profesion menyertai bengkel asas penulisan sajak secara dalam talian bersama penulis tersohor Kelantan, Awang [email\u00a0protected] Tiong Gee pada 20 Disember (Isnin) jam 9.00 malam.\nProgram tersebut ialah anjuran Kumpulan Anak Seni Pulau Serai (KAPRI) dengan kerjasama Alumni Bengkel Puisi Merdeka (ALUMNI) dan Erney Academy. Bengkel tersebut tertumpu pada perkongsian panduan dan tip tentang asas-asas penting penulisan puisi moden, khususnya sajak. Awang Abdullah merupakan seorang pesara guru, jurulatih seni (puisi) Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu dan juga seorang penulis puisi, novel, cerpen, drama, biografi, berita, dan rencana. Antara karya beliau termasuklah Memori Bukit Besi, J.M Aziz: Penyair Berjiwa Besar, kumpulan puisi Kita Akan Dewasa, dan Sajak-sajak Telegram.\n\u201cBakat dimiliki perlu diasah, digilap untuk menghasilkan kreativiti mampat dan kreatif serta berdaya saing. Bertitik tolak dari situ, satu penghasilan sajak kreatif memerlukan kotak fikiran luar biasa dan hebat. Maka untuk itu, sesi pembelajaran melalui bengkel penulisan sajak ini diadakan, walaupun secara dalam talian,\u201d ujar Awang, yang juga seorang aktivis sastera yang berpengalaman luas lebih 45 tahun.\nKatanya, bengkel itu dapat dimanfaatkan oleh peminat sajak khususnya penulis pemula yang ingin mempelajari teknik penulisan sajak. Para peserta didedahkan dengan pelbagai contoh sajak yang puitis, konsep bahasa dan isi serta tema.\nPembimbing menekankan kepentingan sesebuah sajak dari aspek fizikal dan batin, selain menyajikan beberapa contoh aspek bahasa dan bagaimana kaedah untuk mengubah bahasa biasa menjadi bahasa puitis.\nAwang juga sempat mengulas daripada mana datang idea menulis, bagaimana memulakan penulisan dan apakah inti pati sajak yang perlu ditulis oleh pengkarya.\nBengkel selama sejam setengah itu disampaikan secara bersahaja dan berjaya menimbulkan suasana yang santai dengan dikemudi oleh tiga hos, iaitu Harlym Yeo, Erney Putri Ali dan Hamid Habeed Mohd.\nSeorang Jurutera Bahagian, JKR Bahagian Sarikei Sarawak, Toh Chee Leong berkata, tujuan beliau mengikuti bengkel itu adalah untuk mendalami ilmu penulisan sajak agar dapat menghasilkan karya yang lebih berimpak tinggi.\n\u201cNota pengajarannya ringkas, padat dan penjelasan yang senang untuk difahami. Saya berharap bengkel seumpama ini boleh diteruskan dengan topik lain seperti Dari Kertas Ke Pentas atau Tulis Sajak Deklamasi Sajak,\u201d katanya lagi.\nSeorang penulis dari Brunei Darussalam, Sosonjan A. Khan turut bersama dalam bengkel itu dengan tujuan untuk menimba ilmu.\n\u201cSaya suka menimba ilmu. Sebab ilmu semakin digali semakin banyak yang akan kita ketahui lagi. Kita tidak boleh berhenti daripada terus belajar. Pengalaman yang saya peroleh daripada menghadiri bengkel ini pun adalah satu ilmu juga buat saya,\u201d kata beliau yang juga merupakan penulis novel Antalas Sukma (DBP Brunei, 2007).\nPara peserta juga disediakan satu platform untuk berkarya melalui buku antologi sajak khas berjudul \u201cNegeri Tercantik Di Tanah Kalbu\u201d yang bakal diterbitkan dengan mengabadikan kenangan pada zaman kanak-kanak atau bertemakan ibu selenggaraan Awang Abdulah dan Hamir Habeed Mohd." "Wujudkah Karya Agung Melayu di Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Patani?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBesut \u2013 Manuskrip Melayu ialah karya yang bertulis tangan, terutama dalam tulisan Jawi yang dihasilkan dalam lingkungan awal kurun ke-16 hingga awal kurun ke-20 dalam bahasa rumpun Melayu mengenai alam dan tamadun Melayu. Pelbagai bidang ilmu Alam Melayu terkandung dalam manuskrip ini, antaranya sastera, sejarah, agama, perubatan (tib), undang-undang, ketatanegaraan, kesenian, azimat, dan petua.\nMelihat pada kepentingan manuskrip Melayu yang perlu sentiasa dikaji dan dibincangkan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur menganjurkan Seminar Manuskrip Jawi dan Persuratan Melayu 2021 pada 8 Disember (Rabu) di Dewan Bendahara, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, Kota Putra, Besut, Terengganu. Program anjuran bersama Sektor Kecemerlangan Peradaban dan Persuratan Alam Melayu, IPG Kampus Sultan Mizan ini menampilkan Profesor Dr. Jelani Harun dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, sebagai pembentang kertas kerja ucap utama berjudul \u201cKarya Agung Melayu Wilayah Timur: Konsep, Penerokaan Manuskrip dan Pemerkasaan\u201d.\nProf. Jelani Harun menggariskan beberapa prinsip asas sesebuah manuskrip silam boleh diangkat sebagai karya agung. Antara prinsip yang digariskan ialah kekuatan karya dalam menyampaikan pesanan kepada masyarakat, nilai budaya dan pandangan hidup, nilai ilmu, teknik kepengarangan, dan juga kehalusan seni bahasanya. Soal beliau, wujudkah karya agung yang boleh mewakili Wilayah Timur mewakili negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Patani?\nWilayah Timur pernah muncul sebagai pusat kesultanan dan peradaban Melayu yang meninggalkan kesan sejarah yang besar kepada negara. Di Pahang misalnya, terhasil Hukum Kanun Pahang dan Hikayat Pahang yang mengandungi catatan penting tentang sejarah pemerintahan dan amalan adat istiadat yang menjadi mercu tertinggi sejarah persuratan di negeri tersebut. Hikayat Pahang antara karya yang wajar diangkat sebagai karya agung bagi negeri tersebut.\nBagaimana pula dengan negeri Kelantan? Koleksi manuskrip dari Kelantan yang disimpan di Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu (PKMM), Perpustakaan Negara Malaysia, antaranya ialah Syair Musuh Kelantan, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Puteri Saadung, Sejarah Peperangan Tok Janggut, dan beberapa kitab agama. Sehingga hari ini, ketinggian tamadun persuratan di negeri Kelantan masih bergantung pada Hikayat Seri Kelantan yang mengandungi sejarah asal pembukaan dan pembangunan tradisi kesultanan Kelantan.\nProf. Jelani mengatakan Hikayat Seri Kelantan ialah satu-satunya karya historiografi Melayu yang menggunakan perkataan \u2018Seri\u2019 bagi memuliakan panggilan negeri Kelantan, yang terasa kebesaran, kelembutan malah keindahannya. Namun begitu, sehingga kini tidak diketahui siapakah pengarangnya. Hikayat ini pernah diselenggarakan oleh Mohd. Taib Othman dan diterbitkan oleh DBP. Penerbitannya berdasarkan sebuah salinan fotostat manuskrip Jawi yang tersimpan di Universiti Malaya. Hal ini mengundang persoalan tentang di manakah kewujudan asal hikayat tersebut sekali gus membuka ruang filologi berterusan kepada pengkaji seterusnya.\nApakah pula karya agung yang boleh diangkat bagi negeri Terengganu? Menurut Jelani Harun, negeri ini juga memiliki karya sejarahnya yang tersendiri, misalnya Syair Tawarikh Zainal Abidin Yang Ketiga yang dikarang oleh Tengku Dalam Kalthum binti Tengku Wok Khazaki yang merupakan cucu Sultan Zainal Abidin III. Syair ini istimewa apabila menceritakan pelbagai peristiwa berkaitan sejarah, sikap dan cara pemerintahan Sultan Zainal Abidin III yang disifatkan adil, alim, pemurah, berani, dan bijaksana, hinggalah era kemangkatan baginda. Syair yang dikarang pada tahun 1936 ini mengandungi 3084 rangkap syair, dan direkodkan sebagai naskhah syair Melayu terpanjang yang diketahui wujud setakat ini.\nWilayah Patani pula pernah melahirkan sejumlah besar manuskrip yang tersimpan di dalam dan luar negara. Kekuatan manuskrip Patani lebih tertumpu dalam penyalinan al-Quran dan pelbagai kitab agama, di samping beberapa buah karya sejarah dan syair. Antara judul manuksrip berkaitan sejarah Patani yang pernah diteliti oleh Prof. Jelani termasuklah Sejarah Pergerakan Bangsa Thai, Sejarah Patani, Sejarah Tanah Melayu, dan Hikayat Patani (dieja juga sebagai Hikayat Fathani). Sehingga kini, Hikayat Patani masih berada pada kedudukannya yang tersendiri sebagai sebuah historiografi yang menceritakan sejarah awal pembukaan negeri dan pemerintahan raja-raja Patani. Sebagai sebuah karya sejarah, Hikayat Patani mengandungi catatan penting tentang raja-raja pemerintah Patani dan mencatatkan hubungan Patani dengan Kelantan, Terengganu, Perak, Kedah, dan Johor.\nProses penerokaan dan pemerkasaan manuskrip Wilayah Timur harus berterusan dan berlaku secara serentak. Usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan untuk mengenengahkan manuskrip yang sedia ada melalui aktiviti penyelidikan dan penerbitan. Beliau mengharapkan karya-karya besar seperti Hikayat Seri Kelantan, Hikayat Pahang dan Syair Tawarikh Zainal Abidin Yang Ketiga dicetak dalam bentuk yang lebih baharu dan sempurna agar dapat disebarkan secara meluas kepada masyarakat. Tugas ini perlu digembleng oleh DBP dan institusi penerbitan yang lainnya, tegas beliau sewaktu bercakap di hadapan lebih 200 orang khalayak di Dewan Bendahara, IPG Kampus Sultan Mizan.\nPemakalah lain yang turut diundang dalam seminar ini ialah Dr. Engku Ibrahim Engku Wok Zin dari Universiti Sultan Zainal Abidin yang membentangkan tajuk kertas kajian beliau, \u201cPenulisan Nazam ilmiah di Terengganu: Tumpuan kepada Nazam Jawahir al\u2013Saniyyah\u201d. Ustaz Zaidi Hassan, Pengarah Perpustakaan Nur az-Zahrah pula membentangkan kajiannya, \u201cSyeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani: Pemikir Agung Melayu\u201d dan Dr. Wan Khairoslinda Wan Mohd Khairi bersama-sama Fathenwan Wan Mohd Nor, dari Bahagian Penyelidikan Sastera, DBP, membentangkan kertas kerja berjudul \u201cMemasyarakatkan Sastera melalui Kajian Manuskrip Melayu\u201d.\nEncik Mohd Azam Juhari, Pengarah DBP Wilayah Timur yang mewakili Ketua Pengarah DBP sewaktu merasmikan majlis, mengharapkan agar seminar ini mampu memberikan maklumat sebanyak mungkin tentang manuskrip Wilayah Timur dan Alam Melayu. Beliau juga berharap lebih ramai generasi baharu hari ini meminati dan menceburkan diri dalam bidang filologi dan seterusnya tampil mengkaji puluhan ribu lagi manuskrip yang berteraburan di perpustakaan atau pusat manuskrip di dalam dan luar negara. Turut hadir ialah Dr. Haji Ahamad Rahim, Pengarah IPG Kampus Sultan Mizan." "Penjawat Awam Perlu Ubah Sikap terhadap Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Bahasa Melayu menghadapi lebih banyak cabaran dalam peranannya sebagai bahasa rasmi. Hal ini demikian kerana bahasa rasmi mempunyai unsur penggunaan yang wajib. Demikianlah antara penerangan yang diberikan oleh YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felow Utama, Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia melalui Syarahan Bahasa Jiwa Bangsa, bersempena dengan Majlis Perasmian Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan Sektor Perdana Menteri 2022.\nMenurut YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, bahasa Melayu selaku bahasa rasmi tidak diterima sepenuhnya bukan disebabkan oleh sistemnya yang lemah setelah dibina dengan jayanya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selaku agensi utama pembangunan bahasa Melayu di negara ini.\nSebenarnya bahasa Melayu tidak diterima kerana sikap rakyat kita sendiri. Sikap ini merupakan kepercayaan, pandangan dan cara kita bertindak balas terhadapnya. Dari segi kepercayaan misalnya, bahasa ini tidak diyakini akan kemampuannya sebagai alat kemajuan, iaitu tidak mampu membawa kejayaan.\nTambah beliau, sikap seseorang juga berkaitan dengan kepercayaan yang melihat bahasa Melayu sebagai bahasa yang tiada nilai ekonomi yang tinggi berbanding dengan bahasa lain. Dari segi tindak balas misalnya, bahasa Melayu cuba ditolak apabila dikenakan penggunaannya yang wajib. Penolakan ini berlaku dalam pelbagai cara. Antaranya termasuklah keinginan atau desakan untuk diberi pilihan dalam menimba ilmu tertentu seperti mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa lain selain bahasa Melayu.\nSikap merupakan cabaran terbesar dalam memartabatkan bahasa Melayu, iaitu dalam usaha kita meletakkan bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara pada tempat yang sewajarnya khususnya sebagai bahasa rasmi yang wajib penggunaannya dalam ranah rasmi negara. Usaha ini masih belum berjaya sepenuhnya meskipun dalam sektor awam diwajibkan penggunaannya seperti yang termaktub pada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.\nSementara itu, majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Mohd Sakeri Abdul Kadir, Setiausaha Bahagian Kawalan Kewangan Strategik dan Korporat Kementerian Kewangan Malaysia, wakil rasmi Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan), Kementerian Kewangan Malaysia. Dalam ucapannya, beliau berharap agar program kebahasaan seumpama ini dapat mencapai matlamatnya dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan dan menyemarakkan budaya membaca masyarakat Malaysia, khususnya oleh penjawat awam di Sektor Perdana Menteri. Yang turut hadir ialah Tuan Haji Md Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), DBP, yang menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majlis tersebut.\nSelain itu, sesi penyampaian hadiah bagi pertandingan yang telah diadakan bersempena dengan program DMK, iaitu Pertandingan Fotografi Telefon Pintar #marimembaca peringkat Kementerian Kewangan Malaysia turut disampaikan oleh YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan. Johan pertandingan tersebut milik Puan Dayana Ab Rahman manakala naib johan disandang oleh Puan Faizatul Iffah Sahar.\u00a0 Tempat ketiga pula dimenangi oleh Puan Wan Norashikin Mohd Thair dan tiga orang pemenang sagu hati pula ialah Encik Muhamad Haziq Zaini Alamar, Puan Noor Shafiza Shaari dan Encik Muhammad Latif Mohd Yusuff.\nTerdahulu, bagi menyahut seruan kerajaan, pelbagai aktiviti kebahasaan telah dilaksanakan bersempena dengan DBK dan DMK Sektor Perdana Menteri 2022. Antaranya termasuklah Majlis Syarahan Bahasa Jiwa Bangsa Sektor Perdana Menteri, Pertandingan Baca Naskhah Karya Agung peringkat Jabatan Perdana Menteri (18 Oktober 2022) dan Pertandingan Fotografi Telefon Pintar #marimembaca peringkat Kementerian Kewangan Malaysia (18 Oktober -31 Oktober 2022)." "Peranan Alam Mempengaruhi Penulisan Novel Warna Sebuah Lembah (Bhg. 2)\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSambungan Osman Ayob berkongsi pengalaman kreatifnya, khususnya dalam peranan alam terhadap novel sulungnya, Warna Sebuah Lembah. Sesungguhnya, novel ini merupakan antara novel tentang Kuala Lumpur yang penting dan perlu diberikan tumpuan.\u00a0\nSekiranya air melimpahi tebing dan membanjiri kampung, suasana menjadi riuh-rendah. Seisi penduduk terpaksa membawa barang-barang rumah naik ke atas tebing hingga ke tepi jalan raya. Keadaan menjadi lebih kelam kabut apabila banjir berlaku pada waktu malam.\nSupaya lebih mudah diikuti, elemen alam dalam Warna Sebuah Lembah boleh diatur rinci seperti yang berikut:\nSatu: Sungai menjadi elemen penentu dan punca bencana pada Kampung Simpang Batu. Sungai ini mengalir di tepi kampung. Airnya sentiasa deras mengalir walaupun ketika musim kemarau. Di sepanjang tebing sungai, tumbuh pelbagai jenis pokok seperti ketapang dan pokok paku lima. Akibat hakisan, akar pokok menjalar turun ke bawah tebing. Akar pokok ini juga menjadi tandas/tempat bertinggung ketika membuang air besar. Terdapat juga tandas biasa yang dibina ala kadar dengan menggunakan papanlapis dan zink terbuang pelbagai bentuk, bertenggek di tebing, berbau busuk ketika air surut. Ketika hujan lebat dan air melimpahi tebing, ketulan najis terpantul naik ke rumah penduduk. Hal ini menimbulkan suasana yang amat tidak menyenangkan tetapi terpaksa dihadapi oleh penduduk. Sungai dan implikasinya terhadap kehidupan penduduk merupakan fenomena alam yang digambarkan oleh penulis, seperti berikut:\nPutaran arusnya berpusar, bergulung-gulung, bercerau-cerau macam membedal sesuatu yang\u00a0 menghalang perjalanannya. Tanpa melihat dengan mata kepala sendiri pun, masing-masing sudah dapat membayangkan deras arusnya. Dan kejadian sekarang bukan baru sekali dua melanda Kampung Lembah. Banjir semacam ini sudah menjadi rutin sejak perkampungan ini dibuka dulu. Ini bukan bermakna penduduk kampung ini sudah lali dan memandang enteng dengan banjir. Banjir menyusahkan, malah menjadi igauan yang cukup menakutkan semua orang. Lebih-lebih lagi jika banjir berlaku pada waktu malam. Segala-galanya tambah menyulitkan. Suluhan lampu picit, lampu minyak tanah, lilin dan lain-lain menambah kemurungan suasana dan keluh-kesah setiap orang. Pada saat cemas begitu, ada yang tidak tahu ke mana mahu dituju. Tidak tahu barang mana mahu diselamatkan dahulu. Masing-masing bergelut dengan hal sendiri.\n(Warna Sebuah Lembah:140\u201341)\nDalam novel Warna Sebuah Lembah, Kampung Simpang Batu penulis namakan sebagai \u201cKampung Lembah\u201d. Sebagai sebuah perkampungan setinggan, kedudukan di antara sebuah rumah dengan rumah yang lain tentulah tidak teratur. Bentuknya juga pelbagai rupa dan tidak enak dipandang mata. Terdapat kira-kira 100 buah rumah dan dihuni kira-kira 1000 orang daripada pelbagai lapisan penduduk yang terdiri daripada buruh, peniaga kecil, pemandu teksi, kakitangan kerajaan dan swasta, penganggur, dan lain-lain.\nDua: Banjir ialah bencana alam yang amat tidak disenangi oleh penduduk. Oleh sebab lokasinya di sebuah lembah dan di tepi sungai, setiap kali hujan lebat, pasti sungai yang tohor, airnya melimpahi tebing. Air sungai yang deras selain membawa sampah sarap, reba juga bangkai kembung berulat. Ketika bangkai dibawa arus, baunya mengasak ke hidung penduduk yang berumah beberapa kaki sahaja dari tebing. Sekiranya air melimpahi tebing dan membanjiri kampung, suasana menjadi riuh-rendah. Seisi penduduk terpaksa membawa barang-barang rumah naik ke atas tebing hingga ke tepi jalan raya. Keadaan menjadi lebih kelam kabut apabila banjir berlaku pada waktu malam. Selain tidak dapat tidur, ramai penduduk tidak dapat bekerja keesokannya kerana menjaga dan mengemaskan semula barang setelah banjir surut. Suasana panik ketika banjir dilukiskan oleh penulis dengan gambaran berikut:\nMalam pekat mulai hidup. Dalam kegilaan hujan, Safian melihat kegelapan malam sudah menembusi jurai-jurai cahaya lampu suluh dari berbagai arah. \u2018Nyatalah, semua orang sudah bersiap-siap,\u2019 fikirnya. Dia mendengar bermacam-macam suara bising dari setiap rumah. Riuh dan kalut sekali. Tidak kurang juga bunyi sesuatu terjatuh ke lantai. Bagaikan ada sesuatu bertaburan. Disusuli pula dengan suara pertengkaran dan rengekan anak kecil.\nSafian mengusap rambut Halim. Budak itu yang berpakaian tebal seperti kegelian lalu bergerak memaut lehernya.\n\u201cBanjir! Banjirrr!\u201d\nSafian terdengar pekikan itu mencecah lebih bergema dari tadi.\n\u201cBanjir! Bersiap cepat! Air makin naik!\u201d\nSafian terdengar lagi, dari arah lain pula.\n\u201cBanjir! Cepat pindah ke tebing jalan!\u201d sahut satu suara lagi, garau memang deru hujan.\n(Warna Sebuah Lembah:422\u201323)\nTiga: Selain air sungai dan banjir sering mengancam kehidupan penduduk Kampung Simpang Batu, air juga keperluan asas yang amat perlu untuk kehidupan baik di mana-mana kita berada. Bagi penduduk kampung itu, mereka hanya dibekalkan dengan sebuah paip awam yang terletak di tengah-tengah kampung, hanya kira-kira lima meter sahaja dari tebing sungai. Terdapat longkang kecil tempat mengalirkan air mandi dan air basuhan ke sungai. Paip awam ini berfungsi dua puluh empat jam sehari. Penulis menggambarkan paip awam ini seperti petikan yang berikut:\nSatu-satunya pili awam untuk kegunaan ratusan penduduk kampung dalam lembah di tepi sungai itu, memang setiap hari sebelum subuh sudah dikerumuni orang. Apabila matahari mula menyimbahkan sinarnya ke kampung tersorok itu, kaum perempuan pula berduyun datang memenuhi kawasan pili itu. Semacam sudah lali dengan keadaan, masing-masing tidak malu mandi-manda dan membasuh pakaian dengan berkemban sahaja. Walaupun tidak putus-putus orang lalu-lalang di jalan tidak jauh dari situ, tidak ada perasaan segan dan silu dalam kalangan mereka.\n(Warna Sebuah Lembah:11\u201312)\nSelain orang perempuan tidak segan silu menggunakan pili yang sebuah itu, orang lelakinya pula menggunakan sehelai tuala sahaja sebagai kain basahan untuk mandi. Di samping itu, beberapa orang penduduk menggunakan saluran getah untuk menyalurkan air ke rumah. Kesempatan ini ada pada waktu lewat malam, ketika tiada lagi orang menggunakan paip itu. Jika ketika waktu puncak, saluran getah itu pantas ditanggalkan, tetapi tiada pula kedengaran pergaduhan kerana merebut air. Demikianlah \u201cair menjadi sumber alam\u201d yang amat diperlukan oleh manusia demi kelangsungan hidup baik di mana-mana pun manusia berada.\nEmpat: Selain air, banjir, bau busuk daripada bangkai, dan jamban yang boleh dikaitkan dengan pembentukan elemen alam yang menghidupkan nadi Kampung Simpang Batu, satu lagi gejala yang memerangkap kampung itu, sama ada disedari atau tidak oleh penghuninya ialah pencemaran udara. Daripada ratusan ribu kenderaan yang lalu-lalang di Jalan Kucing dan jalan-jalan yang lain, juga cerobong-cerobong asap yang memuntahkan asap daripada kilang-kilang industri kecil dan sederhana di sekitarnya, secara langsung telah menghasilkan karbon dioksida yang berterusan dan gagal diserap ke dalam udara semula jadi. Gejala ini secara diam-diam dan tersembunyi mengancam kehidupan penduduk Kampung Simpang Batu. Bukan semata-mata atas sebab pembangunan, tetapi juga atas sebab kesihatan dan kelestarian hidup sebuah kota raya. Maka keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk memindahkan penduduk Kampung Lembah ke beberapa buah rumah pangsa di Sentul merupakan satu keputusan yang tepat, walaupun tercetus tentangan dan konflik yang menjadi tema utama dalam novel Warna Sebuah Lembah.\nLima: Dalam kehidupan pada zaman moden ini, satu keperluan asas yang tidak kurang pentingnya ialah bekalan elektrik. Sebagai sebuah kampung setinggan pada ketika itu, Kampung Simpang Batu tidak dibekalkan dengan tenaga elektrik. Tenaga elektrik boleh ditakrifkan sebagai elemen alam yang amat penting dalam kehidupan sebuah bandar raya. Tenaga elektrik selain menjana jentera dan segala peralatan, tenaga elektrik juga merupakan sumber yang menyuluh sebuah bandar raya dengan neon pelbagai warna yang gemerlapan pada malam hari. Tanpa tenaga elektrik, gelaplah segala keghairahan dalam kehidupan malam. Bayangkan Kampung Simpang Batu yang terletak di tengah nadi kota raya, tiada bekalan elektrik? Cahaya lampunya terpaksa diperoleh daripada generator (itu pun orang yang mampu sahaja yang dapat menggunakannya), manakala yang lain terpaksa menggunakan lampu gasolin, lilin dan lampu minyak tanah bagi menerangi ruang rumah masing-masing.\nSatu-satunya keluarga yang mempunyai generator elektrik ialah Berahim Kedai. Hal itu pun untuk memudahkan jualan barangan runcit di kedainya yang mempunyai sebuah TV yang dikerumuni penduduk apabila ada siaran langsung perlawanan bola sepak. Hal ini dijelaskan dalam situasi yang berikut:\nBakri tiba-tiba menghentikan ucapannya apabila bunyi sorakan penonton TV di rumah Berahim Kedai\u00a0 membingit:\n\u201cGol! Gol!\u201d\nTepukan gamat menyusul kemudian. Berselang-seli pula dengan sorakan.\n(Warna Sebuah Lembah:272)\nBakri, ketua kampung merangkap Ketua UMNO Kampung Lembah yang bertugas sebagai Inspektor Bas Seri Bumi hanya mampu memiliki lampu gasolin dan hanya digunakan pada ketika tertentu, termasuk mesyuarat. Hal ini diketengahkan seperti petikan yang berikut:\nLampu gasolin yang tersangkut pada alang tengah rumah Bakri bercahaya terang sekali. Semua tingkap dan pintu terbuka lebar. Cahaya daripada lampu yang dikerumuni unggas itu menular keluar menerangi halaman sempit dan rumah-rumah sebelah-menyebelah. Ruang beranda yang terletak di sebelah kanan menghadap jalan juga cerah. Pintu yang memisahkan ruang tengah dengan ruang dengan ruang beranda awal-awal lagi dibuka dan kedua-dua belah daun pintu diselak ke tepi dinding.\n(Warna Sebuah Lembah:258\u201359)\nReaksi \nTujuannya tidak lain, untuk menguji sejauh mana manuskrip ini sanggup dibaca dan dinilai dan bagaimana pula hasilnya oleh barisan penilai yang hebat .\nPenulis mengambil masa kira-kira empat tahun untuk menghasilkan novel sulung ini. Pada peringkat permulaan, penulisan novel ini agak lambat dan terbantut oleh beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, termasuk hal peribadi. Kerana manuskripnya ditulis awal, tidak terlintas sama sekali untuk penulis mengemukakan manuskrip novel ini kepada urus setia Sayembara Mengarang Novel Yayasan Sabah-GAPENA ke-IV yang dilancarkan pada tahun 1988. Cuma apabila pengumuman tentang pelancaran hadiah ini dibuat, barulah penulis berusaha dengan lebih keras menyiapkannya untuk menyertai sayembara yang berprestij itu. Tujuannya tidak lain, untuk menguji sejauh mana manuskrip ini sanggup dibaca dan dinilai dan bagaimana pula hasilnya oleh barisan penilai yang hebat, antaranya termasuk Prof. Dr. Mohd Yusof Hasan. Penulis menghantar sendiri manuskrip ini kepada Setiausaha GAPENA, Allahyarham Drs. Yahaya Husin (Jihaty Abadi) yang ketika itu bertugas di Pusat Bahasa, Universiti Malaya.\nPengadilannya mengambil masa hampir setahun. Sebelum menerima surat rasmi, penulis menerima panggilan daripada Allahyarham Drs. Yahaya yang menyatakan manuskrip tersebut memenangi tempat ketiga bersama-sama manuskrip Jaringan karya Rosmini Shaari yang berasal dari Kedah juga. Tiada pemenang pertama, hanya pemenang kedua dengan manuskrip berjudul Empangan, buah tangan Dr. Zakaria Ali dari Universiti Sains Malaysia. Walau bagaimanapun, setelah semua novel tersebut diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kelahiran Empangan ditolak oleh pengarangnya kerana banyak suntingan telah dibuat sehingga menjejaskan keasliannya. Oleh itu, DBP terpaksa mencetak semula novel tersebut yang kemudian menjadi teks sastera peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).\nWarna Sebuah Lembah diterbitkan oleh DBP pada tahun 1990 dan dicetak ulang pada tahun 2010 dengan beberapa pembaikan. Novel ini mendapat sambutan yang baik. Allahyarham Dr. Othman Puteh dalam kritikannya dalam Dewan Sastera pernah menulis \u201cWarna Sebuah Lembah: Satu Potret Realiti Kreatif\u201d. Beliau memperkatakan novel ini dari aspek gambaran sosial masyarakat setinggan yang mewarnai realiti kehidupan di Kuala Lumpur, lantaran begitu banyak perkampungan setinggan yang memercup tumbuh pada waktu itu. Wujudnya kampung-kampung setinggan memberikan gambaran tentang kepincangan sosial dan ramainya orang dari luar bandar berhijrah mencari penghidupan baharu di Kuala Lumpur. Justeru, kerajaan wajar melakukan sesuatu bagi mengatasi kepincangan yang berlaku.\nTengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali (kini Prof. Madya) menjadikan novel ini sebagai kajian bagi memenuhi keperluan Ijazah Sarjana Muda Sastera di Universiti Malaya pada tahun 1994/95. Tesis beliau berjudul \u201cWarna Sebuah Lembah: Satu Kajian Realiti Masyarakat\u201d. Beliau memfokuskan kajiannya tentang pergolakan dan permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat setinggan, meliputi sosiopolitik, sosioekonomi dan sosiobudaya di kampung tersebut.\nSebenarnya, kajian terhadap novel ini berterusan sehingga kini, terutamanya dalam kalangan pelajar ijazah pertama di beberapa buah universiti. Penulis gembira dengan perkembangan ini dan menggambarkan novel ini terus malar segar apabila persoalan setinggan terus hidup di dalam kota raya Kuala Lumpur dengan konflik semasa yang semakin menekan, sehingga kerajaan telah mengambil langkah melaksanakan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M) dan lain-lain.\nDemikianlah Warna Sebuah Lembah menghimpunkan segugus kenangan manis yang tidak dapat dilupakan dalam hidup penulis. Hal yang nyata, tidak akan terhasil novel ini jika penulis tidak tinggal di Kampung Simpang Batu dengan elemen alam menjadi faktor utama yang mencetus dan menggerakkan idea dan juga daya imaginasi penulis mengadunkan realiti dan imaginasi yang membawa kepada kelahiran novel ini.\nNovel sulung inilah yang menjadi asas yang begitu penting dalam penulisan novel-novel berikutnya. Kini sudah sepuluh buah novel (dewasa) yang penulis hasilkan; Embun di Hujung Daun, Ombak Bukan Penghalang, Empangan Tugal, Lembah Kencana, Dukhan Langit Akhir Zaman, Anak Primadona, CEO Baru, Kugenggam Tanganmu, dan Perca Asmara. Novel-novel ini tidak terpisah daripada adunan latar alam kota dan desa. Semuanya merakamkan pengalaman hidup penulis yang mengalami betapa berbezanya suasana hidup di kota dan di desa. Pengalaman inilah yang memperkaya dan memperkembangkan idea dan imaginasi penulis dalam menghasilkan novel. Terpulanglah kepada pembaca untuk membuat tafsiran dan penilaian berdasarkan persepsi masing-masing.\n\u00a0\nRUJUKAN\nOsman Ayob, 1990/2010. Warna Sebuah Lembah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.\nOthman Puteh. \u201cWarna Sebuah Lembah: Satu Potret Realiti Kreatif\u201d dlm. Dewan Sastera Disember 1992.\nRahimah A. Hamid, 2017. Proses Kreatif Sensitiviti dan Kreativiti Pengarang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.\nShahnon Ahmad, 1979. Gubahan Novel. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.\nShahnon Ahmad, 2008. Weltanschauung. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.\nTengku Intan Marlina Tengku Ali, 1994/95. \u201cWarna Sebuah Lembah: Satu Kajian Realiti Masyarakat\u201d. Tesis Sarjana Muda, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.\nBaca Bahagian Pertama Refleksi | \nPeranan Alam Mempengaruhi Penulisan Novel Warna Sebuah Lembah (Bhg. 1)\n\n_________________________\nOsman Ayob sudah menghasilkan lebih 166 cerpen. Beliau juga penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 bagi kumpulan cerpen Bayangan Silam (DBP, 2009). Antara kumpulan cerpennya termasuklah Bayangan Rindu (1981), Musim itu Telah Berlalu (1984), Detik yang Tergugat (1988), Di Pinggir Kesedaran (1993), Melamar Rindu (2001), Perginya Seorang Srikandi (2011), Tembok Masih Tinggi (2014), dan Gila Tak Gila (2017). Selain menulis cerpen, beliau juga menghasilkan lebih 30 buah novel. Novel remajanya, Meniti Impian menjadi teks KOMSAS tingkatan dua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan bagi tahun 2016\u20132020." "Interpretasi Baharu \u201cSingapura Dilanggar Todak\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nProf. Dr. Jan van der Putten yang ikut membentangkan kertas kerjanya pada Webinar Antarabangsa Folklor Malaysia baru-baru ini telah mengemukakan suatu pendedahan menarik sebagai suatu interpretasi baharu yang masih belum begitu disedari umum dan meluas mengenai kisah \u201cSingapura Dilanggar Todak\u201d.\nJan van der Putten sejak dahulu memang merupakan salah satu sosok nama besar daripada kalangan sarjana Barat yang meneliti kebudayaan, folklor dan sastera Nusantara. Beliau berkesempatan untuk bersama menyertai barisan 30 orang pembentang pada Webinar Antarabangsa Folklor Malaysia, yang berlangsung pada 3\u20134 Disember, baru-baru ini.\nSarjana dari Belanda ini yang kini mengajar di Universiti Hamburg, Jerman, ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk \u201cKisah Hamis dari Laut Melayu\u201d memberitahu khalayak peserta, \u201cJika membahas sumber-sumber maritim bagi cerita folkor Melayu, perkara pertama yang muncul dalam benak saya bukan lain daripada pelanggaran ikan todak yang dilakukan terhadap beberapa negeri dalam khazanah naratif Melayu.\n\u201cDalam hal ini, yang paling terkenal adalah yang diarahkan oleh ikan todak ke Singapura. Namun, ada beberapa negeri lain yang kononnya pernah menghadapi serangan ikan juga,\u201d ujar beliau.\nBeliau yang fasih berbahasa Melayu menjelaskan, dalam kisah sejarah kerajaan Melayu, pelanggaran ikan todak ke Singapura terjadi setelah Tun Jana Khatib, seorang alim dari Pasai yang telah \u201cmemahirkan ilmu khayal lillah lagi tamam dua belas alam\u201d (Sulalatus Salatin, ed. A. Samad Ahmad:67), dituduh oleh Raja Singapura sebagai terlalu menunjukkan kebolehan saktinya di depan permaisuri yang sedang berada di dalam taman, sewaktu sebatang pokok pinang dibelah oleh Tun Jana itu.\nAlim Pasai itu dengan serta-merta dan tanpa diperiksa lebih lanjut telah dihukum bunuh, dan setelah itu, ribuan ikan todak yang dikerah dengan daya supernatural meluluh lantakkan negeri itu untuk membalas dendam terhadap raja dengan rakyatnya.\nJelas beliau lagi, peristiwa atau kisah ini sangat dikenali di Alam Melayu, khususnya di Semenanjung dan Singapura, dan di mana-mana diulang kembali dan diceritakan betapa rajanya menyuruh rakyat membuat kubu di pantai untuk melawan serangan ikan itu. Rupa-rupanya, kubu yang dibuat itu tidak berkuasa untuk melawan serangan ikan todak, kerana tidak ada yang boleh menanggulangi bala seperi itu.\n\u201cKurang lebih macam inilah biasanya kisah diceritakan kembali yang menekankan kezaliman raja Singapura dalam dua hal: baginda menitah membunuh Tun Jana Khatib dan mengorbankan rakyatnya untuk menjadi perisai manusia sebagai sasaran empuk bagi jongor ikan todak itu,\u201d beliau memberitahu khalayak.\nNamun begitu, van der Putten menyuarakan rasa hairan beliau kerana penjelasan bahawa rakyat dikorbankan demi keselamatan kerajaan tidak berubah. Hal ini demikian kerana sejak kira-kira 14 tahun lalu lagi, sebenarnya, sudah pun terdapat interpretasi baharu berkaitan peristiwa \u201cSingapura Dilanggar Todak\u201d ini.\nMenurut beliau, pada tahun 2007, seorang ahli sastera Melayu dan Bugis dari Belanda, iaitu Dr. Roger Tol telah menerbitkan sebuah artikel yang membantah interpretasi bahawa raja Singapura dengan sangat zalimnya telah menyuruh rakyat untuk membuat benteng dengan menggunakan tubuh badan sendiri, seperti dalam teks yang dinyatakan: berkubukan atau berkotakan betis.\nPutten menegaskan, menurut Tol bukannya \u201cbetis\u201d anggota badan yang dimaksudkan di sini, tetapi betis atau bitis yang merujuk sejenis pokok keras yang tumbuh dekat laut. Maka, dalam kisah batang bitis itu diganti dengan batang pisang agar jongor ikan todak itu akan tercacak di dalamnya.\nUjar beliau lagi, cara ini sesuai dengan nasihat yang diberi oleh budak Melayu kepada rajanya, maka orang Melayu boleh membunuh ikan todak itu dengan mudah: \u201cmaka dibunuh oranglah bertimbun-timbun di pantai itu, hingga tiadalah termakan lagi oleh segala rakyat\u201d (Sulalatus Salatin, ed. A. Samad Ahmad:68).\n\u201cApakah memang menghairankan bahawasanya pelurusan naratif yang dilakukan oleh Roger Tol itu tidak didengar dan diikuti oleh orang Melayu di Alam Melayu yang tetap sahaja mengirakan kezaliman raja itu yang menjadi pesan dalam cerita ini?\u201d Putten menyoal khalayak.\nNamun demikian, beliau tetap menyuarakan rasa tidak hairannya, jika hujah, fakta, dan interpertasi tersebut masih belum diketahui atau tersebar meluas di rantau ini.\nTegasnya, \u201cHal ini kerana jangkauan sebuah artikel dalam jurnal ilmiah tidak jauh (penulis: tersebar luas) dan siapakah di Alam Melayu membaca Jurnal Indonesia and the Malay World?\n\u201cLagi pula masalahnya, naratif macam ini yang lazimnya digolongkan sebagai legenda atau mitos, telah berurat berakar dalam khazanah naratif Melayu dan hanya akan diubah dengan sangat lambat serta susah.\n\u201cSelain itu, ada kemungkinan bahawa pergantian makna daripada \u2018pokok dekat pantai\u2019 menjadi \u2018bagian bawah kaki\u2019 yang disejajarkan untuk melawan serangan ikan todak, boleh jadi pun sudah cukup lama dilakukan. Ini hal menarik untuk diteliti dalam naskhah-naskhah Salalatu \u2018l-Salatin mana yang telah menunjukkan makna baharu,\u201d jelas beliau.\nBeliau menambah, \u201cSementara ini, saya hanya sempat melacaknya ke dalam Hikayat Hang Tuah yang juga mengandungi episod pelanggaran ikan buas ini, namun dihadapi oleh kerajaan Indrapura yang setelahnya takluk pada Kerajaan Melaka. Dalam awal ceritanya: Setelah Baginda mendengar sembah Bendahara yang demikian itu, maka titah Baginda, \u2018Jikalau demikian, baiklah kita berpagarkan betis, supaya masyhur nama kita, lagi pun kita Raja besar, banyak rakyat,\u2019.\u201d \nBeliau menerang lanjut, jika dalam Sulalatu \u2018l-Salatin masih cukup boleh diragukan, apakah maknanya sudah dialihkan daripada pokok dekat pantai kepada bahagian kaki. Namun sebaliknya, dalam Hikayat Hang Tuah yang diterbitkan oleh Badan Bahasa di Indonesia pada tahun 2010 sudah jelas dan sangat terang interpretasinya sebagai contoh betapa zalimnya sang raja yang memerintah rakyatnya melawan serangan ikan bersenjatakan jongor dengan tubuh badan rakyatnya sendiri.\nBila dan disebabkan apa peralihan interpretasi tersebut masuk ke Alam Melayu dan makna \u201cpokok bitis\u201d menjadi kabur dalam konteks ini belum jelas, ujar beliau.\nDalam pada itu, beliau turut menghuraikan beberapa kisah folkor menarik lain lagi yang berkaitan dengan ikan yang terdapat di beberapa tempat di Alam Melayu.\n\u201cNamun yang tak perlu diragukan ialah laut sebagai tempat dan kediaman makhluk yang dapat membahayakan kehidupan manusia di darat. Dan ini suatu sifat yang dikaitkan dengan laut yang rasanya universal, iaitu laut mengandung bahaya bagi manusia yang berani mengharunginya untuk mencari makanan dalam bentuk ikan dan binatang laut lainnya yang sangat amat didambakan, atau menjelajahi lautan dalam dan pencarian tanah baharu dengan segala macam pengetahuan dan pengalaman baharu,\u201d tegas beliau.\nMengingati bahawa bangsa Melayu merupakan sebahagian daripada rumpun bahasa Austronesia yang anggotanya terdiri daripada ribuan kelompok dengan setiapnya berbudaya dan berbahasa sendiri, sehingga daerah penyebarannya melangkaui dari pulau Rapa Nui di timur dan Madagaskar di barat, serta Taiwan di sebelah utara dan Selandia Baru di selatan, maka boleh dikatakan ekologi seperti itu amat mempengaruhi kebudayaan yang dikembangkan oleh semua kelompok, ujar beliau.\n\u201cJuga jika kita ketahui bahawa pada awal zaman para nenek moyang daripada yang setelah berabad-abad disebut Melayu pernah keluar dan melalui lautan menyebar ke semua arah angin, maka pengembaraan laut serta laut sebagai tempat penting dalam kebudayaan muncul di mana-mana,\u201d terang Jan der van Putten, menyatakan rasa kagum beliau pada kaitan dunia kelautan dalam folklor bangsa Melayu.\nWebinar yang berlangsung selama dua hari ini diikuti seramai 4790 peserta pada hari perasmiannya dan menarik minat kira-kira 7000 orang peserta bagi keseluruhan segmen pembentangan kertas kerja. Webinar disiarkan secara langsung melalui pelantar sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan aplikasi Zoom. Webinar ini dianjurkan oleh Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) dan Persatuan Sastera Lisan Malaysia (PSLM) dengan kerjasama DBP, manakala Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan sebagai penaung.\nBerita Berkaitan |\nAlam Sekitar Inspirasi Folklor Warisan Masyarakat" "Malam PEMUISI Ambang 2022 Pelawa Khalayak Mensyukuri Nikmat Tahun 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKhalayak peminat seni puisi dan orang ramai dipelawa bersama Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dalam program terakhir tahun 2021, iaitu Malam [email\u00a0protected] 2022 yang akan diadakan pada 31 Disember 2021 (Jumaat) mulai jam 10.00 malam secara langsung di Facebook PEMUISI Berkarya.\nProgram anjuran PEMUISI ini akan menampilkan sepuluh video baca puisi terpilih peserta program Suara Kesyukuran PEMUISI di Facebook PEMUISI Berkarya yang dianjurkan dari 15 hingga 25 Disember 2021. Para peserta termasuk dari luar negara akan disiarkan bersama-sama para pemuisi jemputan yang akan mempersembahkan bacaan puisi, lagu puisi, syair, dan gurindam.\nMenurut Presiden PEMUISI, Dato\u2019 Dr. Radzuan Ibrahim, program kali ini akan disemarakkan dengan puisi-puisi bertemakan kesyukuran.\n\u201cMelalui persembahan puisi, para peserta meluahkan kesyukuran ke hadrat Allah atas segala nikmat kesihatan, keamanan, keselamatan, kesempatan beribadat, ketenangan, kegembiraan, bakat kebolehan, pangkat jawatan, isteri anak dan keluarga, wang ringgit harta benda, kecukupan, kemewahan, kebahagiaan, dan lain-lain yang dikurniakan selama ini,\u201d kata beliau.\nPenampilan khas yang istimewa ialah acara baca puisi oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie Negeri Melaka, YAA Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman Ibrahim.\nProgram ini juga bakal menampilkan Sasterawan Negara, tokoh akademik, budayawan, deklamator kebangsaan, dan penggiat seni tanah air.\nProgram akan turut disertai oleh Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan (Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa Dan Pustaka), Dato\u2019 Dr. Radzuan Ibrahim (Presiden PEMUISI), Dato\u2019 Dr. Zurinah Hassan (Sasterawan Negara), Dato\u2019 Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob, Atikapuspa (Johan Sayembara Deklamasi Puisi Sektor Perundangan), dan Marzelan Perindu Seni (deklamator kebangsaan).\nBersama menyerikan acara melalui dendangan lagu puisi dalam slot selingan ialah Adiwangsa Sukma, Siso Kopratasa dan Yuzailan Yunus. Acara ini akan dikemudikan oleh Harlym Yeo dan Bunga Merah.\n\u201cSaksikanlah program penutup PEMUISI tahun 2021 yang hebat ini di Facebook PEMUISI Berkarya. Kami mengalu-alukan para pelayar Facebook untuk turut bersama menitip kesyukuran melalui coretan dan komen anda di Facebook PEMUISI Berkarya pada malam berkenaan,\u201d kata Radzuan." "DBP Ingin Bina Langkah Usahasama dengan JAKOA\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melakukan kunjungan hormat ke Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) yang bertempat di Pejabat Ketua Pengarah, Tingkat 3, West Block, Wisma Golden Eagle Realty, Ampang, Kuala Lumpur pada 29 Disember 2021.\nKunjungan diketuai oleh Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, Encik Saifullizan Yahaya dan Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, Puan Mariati Josepha Mustafa. Turut serta ialah pegawai-pegawai kanan DBP, iaitu Siti Norsuhaila Samsudin dari Bahagian Perkamusan dan Fathenwan binti Wan Mohd Nor dari Bahagian Penyelidikan Sastera.\nPertemuan yang berlangsung selama kira-kira sejam berkisar tentang bentuk kerjasama yang boleh diusahakan secara bersinergi antara pihak DBP dengan pihak JAKOA demi melestarikan kehidupan dan kebudayaan masyarakat orang asli di Malaysia.\nTimbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Pengurusan) JAKOA, Encik Saiful Zahlan Mohamad Azmi berkata, \u201cJAKOA sebagai sebuah badan berautoriti dalam menjaga kebajikan masyarakat orang asli di Malaysia akan memberi sokongan penuh kepada program-program yang dianjurkan oleh DBP.\u201d\nSaifullizan Yahaya pula menjelaskan bahawa Bahagian Penyelidikan Sastera DBP telah melaksanakan penyelidikan berkaitan cerita rakyat orang asli. \u201cPengumpulan cerita rakyat orang asli telah dimulakan oleh Bahagian Penyelidikan Sastera pada tahun 2013 yang tertumpu di negeri Pahang dan Kelantan, melibatkan sebahagian kecil suku kaum Jakun dan Temiar. Pada tahun 2018, rakaman cerita rakyat orang asli suku kaum Semai dilaksanakan di Kampung Orang Asli Pos Tenau, Slim River, Perak. Seterusnya, pada tahun 2019, kajian meliputi rakaman rakyat orang asli dalam kalangan anggota Senoi Praaq, Perak dan suku kaum Che Wong di Pahang,\u201d jelas beliau.\nUjar beliau lagi, \u201cHasil penyelidikan yang dilaksanakan tersebut telah diterbitkan oleh DBP pada tahun 2021 berjudul Cerita Rakyat Orang Asli: Legenda Lembah Mendang. Cerita-cerita berkenaan dituturkan sendiri oleh golongan dewasa dalam kalangan suku kaum Jakun dan Temiar.\u201d\nMariati Josepha menambah, \u201cDBP sedang giat mencungkil bakat yang ada dalam kalangan masyarakat orang asli, terutamanya kanak-kanak. Keterlibatan kanak-kanak orang asli dalam program anjuran DBP amatlah digalakkan kerana kami boleh mengenal pasti kebolehan mereka, terutamanya dalam bidang seni lukis. Melalui lukisan, kanak-kanak orang asli boleh menggambarkan ekspresi mereka terhadap alam sekitar dan kehidupan yang berlegar dalam budaya dan masyarakat orang asli melalui kaca mata mereka sendiri.\u201d\n\u201cSelain program-program bersifat aktiviti, DBP sedang merancang untuk menerbitkan kamus Semai\u2013Melayu. Tujuan utamanya supaya dapat dijadikan rujukan atau panduan kepada pelajar-pelajar orang asli suku kaum Semai dan guru-guru yang mengajar. Keutamaan diberikan kepada suku kaum ini kerana Kementerian Pelajaran Malaysia telah menerbitkan buku teks Bahasa Semai peringkat sekolah rendah dan menengah,\u201d tambah Norsuhaila yang mewakili Ketua Bahagian Perkamusan.\nSaifullizan Yahaya yang turut mewakili Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum menyatakan, \u201cPada tahun 2022, bahagian tersebut telah merancang beberapa aktiviti bersama-sama masyarakat orang asli, seperti Apresiasi Bahasa dan Sastera. Aktiviti-aktiviti sebegini akan merapatkan lagi jurang persuratan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum sebagai salah satu usaha untuk mencapai integrasi nasional.\u201d\n\u201cBagi mengeratkan hubungan antara DBP dengan JAKOA, satu bentuk perjanjian memorandum persefahaman perlu diadakan. Melalui perjanjian ini, kedua-dua belah pihak dapat mempertingkatkan lagi kerjasama untuk menjalankan sesuatu program,\u201d tambah Saifullizan Yahaya.\nTurut serta dalam perbincangan tersebut ialah para pegawai JAKOA, iaitu Puan Aida Md Zin, Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Encik Azhar Abdul Manaf, Penolong Pengarah Kanan (Perangkaan), dan Puan Suriani [email\u00a0protected], Ketua Unit Penyelidikan dan Kebudayaan/Warisan." "\u201cFolklor Leluhur seperti Helaian Daun Pohon Purba di Belantara\u201d \u2013 Prof. Muhammad Haji Salleh\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSasterawan Negara Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang juga Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia (PSLM) merupakan salah seorang antara Pembentang Ucap Utama Webinar Antarabangsa Folklor Malaysia, berlangsung pada 3\u20134 Disember, baru-baru ini.\n\u201cKami dari Persatuan Sastera Lisan Malaysia sudah lama mendengar dengung dan makna serta nasihat leluhur kita yang diturunkan dalam ribuan peribahasa atau puisi serta cerita-ceritanya. Di luar pagi kota konkrit hari ini, ada sastera lisan dan folklor sebagai sebuah laut khazanah yang terbentang luas,\u201d ujarnya.\n\u201cBersamanya terhidang ceritera dan makna kehidupan yang dilakonkan \u2013 di sungai, paya, tasik, dan laut yang luas. Semuanya mengalir dalam ayat-ayat lisannya, kerana inilah suara leluhur kita,\u201d Sasterawan Negara ini mengungkapkan dengan indah, menjelaskan hakikat saki-baki warisan folklor masih lagi wujud, meski zaman sudah merentas moden.\nPenerangan beliau itu membawa kepada maksud bahawa folklor daripada leluhur kita tetap bermanfaat dalam makna kehidupan sepanjang zaman.\nBeliau secara berkias, menjelaskan, \u201cKarya-karya masyarakat kita, daripada semua suku, adalah seperti helaian daun daripada pohon purba di belantara, bukit, kuala, paya, dan desa. Pohon-pohon ini akan nanti menumbuhkan ranting dan bunga serta buah baharu, untuk menyambung hayatnya.\n\u201cKita semua membina pondok di bawah pohon-pohon ini, namun sering tidak menyedari kehadirannya kerana pohonnya terlalu tinggi di atas, dan oleh itu makna dan keindahannya juga sering dilupakan. Inilah belantara warisan, dan kita sudah pun lama menikmati buahnya, dan kadang-kadang juga pucuk dan akarnya. Benihnya pula kita kutip dan semai di padang dan laman yang lain.\u201d\nBerdasarkan folkor dalam peradaban Melayu, beliau mengemukakan contoh daripada masyarakat Iban, Melanau dan Kadazandusun tentang cara leluhur dahulu mewarisi mitos asal usul manusia, yakni asal usul mereka.\nMeski sebagai folklor, namun hal ini membuktikan leluhur cuba memahami permulaan alam, menghargai kebaikan nilai-nilai kehidupan dan menyayangi sepenuhnya alam ini. Termasuklah, menghargai padi sebagai tanaman yang menjadi sumber penting bagi kehidupan, sebagaimana dapat direnung daripada folklor Kadazandusun.\n\u201cLeluhur kita adalah perenung alam \u2013 melalui generasi, zaman, kurun, dan milenia,\u201d tegasnya.\nMenerangkan lanjut, Prof. Muhammad menjelaskan, ada beberapa pemerhatian dan kesimpulan mereka yang diwarisi sebagai bentuk peribahasa. Misalnya, daripada peribahasa Riau, \u201cKalau nak tau tentang manusia masuklah ke dalam belantara.\u201d Sementara itu, orang Minang pula menyimpulkannya dengan sangat baik: \u201cAlam terkembang menjadi guru.\u201d\nPeribahasa tersebut sangat berfalsafah, namun praktikal kerana kita diajak melihat dan merenung alam sekali gus mengutip makna daripadanya. Setelah memahaminya, kita akan memahami rentak, jiwa dan kehidupan itu sendiri, ujar beliau.\nLeluhur kita sangat mengenali setiap sudut alam sekitarnya. Setiap manusia atau kelompoknya akrab dengan sudut alam yang khusus. Oleh hal yang demikian, nelayan Malaysia tradisional mengenali ombak dan gelombang, ikan besar dan kecil, karang dan pantai dengan lebih dekat.\nSementara itu saudaranya, yang bersawah, mengenali tanah dan lumpur, musim yang bersilih ganti, haiwan dan unggas yang menyerang padinya. Ke arah hutan sedikit ialah pekebun buah-buahan. Dia juga harus dapat membaca awan, angin dan suhu, dan rentangan sungai, bukit dan paya, dan baruhnya, jelasnya lagi.\nSasterawan Negara ini mengajak merenung, \u201cKita perlu merasakan perasaan pohon-pohon di hutan bersama makhluk yang lainnya. Maka, kita disarankan untuk mengambil hanya yang diperlukan, sekiranya tidak, kita akan menanggung akibatnya.\n\u201cCerita-cerita Aslian turut sama menyimpulkan makna dan sumbangan alam kepada manusia. Setelah ratusan, malah ribuan tahun memerhati alam, maka pemerhati tidak dapat mengelak daripada melihatnya sebagai bandingan atau metafora untuk manusia sendiri. Alam sebagai bandingan kepada manusia \u2013 metafora, wakil dan imejan, kepada cara manusia dalam kehidupannya,\u201d jelasnya lagi.\nMenurut beliau lagi, inilah sebabnya mengapa bentuk-bentuk yang ribuan tahun usianya ini boleh terus hidup dan malah disukai. Ada seni padanya, seni tinggi yang sejalan dengan cara kita bercakap, berperasaan dan menyampaikan pendapat. Peribahasa, pantun dan isun-isun, lekat dalam peribadi dan watak kita kerana baris-barisnya mengalir dalam arus sejarah dan kesedaran kita.\nBerkenaan pantun, beliau menjelaskan, pantun juga wujud dalam bahasa Semai, Jahut, Bajau, Kadazandusun, dan Iban, selain bentuk-bentuk salinannya, kentrung, pantong, londe, dan puluhan yang lain di seluruh Kepulauan Melayu-Nusantara.\nDalam nilai kehidupan sebagai inti sastera lisan, beliau memberitahu, sangat banyak bukti yang boleh dikutip bahawa budaya-budaya tradisional kita mengajar kita menjadi teman kepada tanah, sungai, laut, dan tumbuh-tumbuhan, kerana di belakangnya, ada beberapa sebab, termasuk hakikat bahawa kita diberikan segala-galanya oleh alam.\nMuhammad Haji Salleh turut memberikan fakta menarik berkenaan keakraban bangsa Melayu dengan alam yang menurut beliau, diperkuatkan dan diperhaluskan oleh ilmu tentang alam. Oleh sebab itu, ketika 100 tahun yang lalu orang Melayu terkenal dalam kalangan penjajah Inggeris sebagai nature\u2019s gentlemen.\nNamun begitu, beliau kembali menyoal, \u201cSekarang dengan rosaknya alam ini dalam berbagai-bagai cara, apakah kita lebih sesuai dikenali sebagai nature\u2019s barbarians?\u201d\nDalam pada itu, Muhammad turut menerangkan, dalam konsep banyak suku kaum, ubat untuk semua jenis penyakit boleh didapatkan dalam alam sekeliling kampung manusia \u2013 di sungai, paya, hutan, dan laut. Kenyataan ini dibuktikan oleh amalan zaman pra-farmasi moden kita. Dan sebenarnya, sebahagian daripada perubatan moden pun terbukti mengambil daripada pengalaman perubatan tradisional.\nBeliau turut memberitahu, terdapat beberapa buah buku perubataan tradisional bangsa Melayu yang telah ditranskripsi dan dianalisis. Antaranya termasuk MSS.2999 Kitab Tib: A Modern Medical Insight into and Interpretation of a Malay Medical Manuscript oleh Abdul Ghani Hussain, Kitab Tib: Ilmu Perubatan Melayu oleh Harun Mat Piah, serta makalah \u201cPerubatan Alternatif dalam Kalangan Komuniti Bajau Laut Semporna, Sabah\u201d oleh Nur Faidah Aldam dan Vivien W.C. Yew.\n\u201cBangsa-bangsa Malaysia sudah ribuan tahun berhadapan dengan alam, setiap hari, mengalami peristiwa dan merenung watak, peribadi dan maknanya. Mereka mendiami dan dikelilingi oleh suatu persekitaran yang khusus, dan dihadiahkan pengalaman-pengalaman yang istimewa \u2013 yang akhirnya memberikan mereka seberkas pengetahuan yang unik \u2013 yang tidak terdapat di Rusia, Perancis, China, Maghribi ataupun Sepanyol. Semua ini dihablurkan dalam peribahasa, teromba, syair, hikayat, cerita, dan wayang,\u201d tegas Muhammad.\nUjar beliau lagi, \u201cProses pembinaan khazanah kebijaksanaan dan ilmu ini mengambil waktu yang sangat panjang, yang perlu melalui proses pemerhatian, pengujian waktu, peristiwa dan amalan, dan berbagai-bagai individu serta generasi.\u201d\nOleh yang demikian, setiap bidang kehidupan cuba mengutip ilmu daripada pengalamannya supaya masalah yang dihadapi dapat ditangani, dan setelah itu, membina struktur yang sesuai atau mencari cara baharu. Hasil semua ini terus ditafsir dan digunakan dalam beberapa zaman.\n\u201cUntuk cuba memasuki persoalan di hadapan kita,\u201d kata Sasterawan Negara ini sebagai memberikan cadangan, beliau menyarankan kita:\nJusteru, tanpa air, api, angin, bijirin, dan buah-buahan, ubat serta penawar (dan yang tidak nyata \u2013 oksigen \u2013 udara kehidupan) kita akan menjadi miskin, parah ataupun tinggal sebagai mayat, beliau sempat bersinis.\n\u201cOleh itu, kita sangat memerlukan ilmu tempatan yang tiada ternilai untuk merawat diri dan dunia kita,\u201d tegas beliau.\nRibuan tahun sewaktu seloka, puisi dan peribahasa kita dicipta, alam masih utuh dan memperbaharu serta merawat dirinya dengan cara yang naluriah. Kerosakan yang berlaku tidak berskala serius. Seperti kerosakan di benua Australia, California, Brazil dan di hulu-hulu sungai di Malaysia yang dicuri pohon-pohonnya, ujarnya lagi.\nBeliau mengakhiri pembentangan dengan membacakan petikan puisi ciptaannya, \u201cPesan dari Hutan\u201d untuk direnungi dan dihayati:\nJanganlah menebang dengan kerlipan untung\njanganlah mengeruhkan sungai dan laut\nitulah alur kampung kami.\nAmbillah seperlu hidupmu,\npatahkan ranting\nsupaya pucuk dapat bertunas kembali.\nBerita Berkaitan |\nAlam Sekitar Inspirasi Folklor Warisan Masyarakat" "Kebijaksanaan Peribahasa Laut, Sungai dan Paya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRantau dunia Melayu bukan sahaja memiliki alam pesisir pantai yang panjang serta lautan yang luas dan ribuan buah pulaunya, malahan juga dengan begitu banyak sungai. Alam dan persekitaran laut, sungai serta paya ini, di samping menjadi sebahagian sumber pelbagai keperluan bagi kehidupan harian, sekali gus turut mempengaruhi pemikiran dalam watak dan pekerti bangsa Melayu.\nOleh hal yang demikian, tidak hairanlah jika laut, sungai dan paya menjadi refleksi indah, menarik, malah mengagumkan sebagai idea dan tanggapan dalam pemikiran peradaban Melayu.\nProf. Dr. Ismet Fanany menjelaskan demikian melalui kertas kerja beliau semasa membincangkan kepekaan, pengamatan, pengalaman, kearifan, dan keunggulan pemikiran peribahasa berdasarkan laut, sungai dan paya dalam lingkungan hidup dan kebudayaan bangsa Melayu.\nBeliau dari Universiti Deakin, Australia merupakan antara barisan 30 orang tokoh, sarjana, penulis, budayawan, dan individu berpengalaman yang diundang untuk membentangkan kertas kerja pada Webinar Antarabangsa Folklor Malaysia bertemakan Laut, Sungai dan Paya, berlangsung pada 3\u20134 Disember, baru-baru ini.\nWebinar ini dianjurkan bersama oleh Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) dan Pesatuan Sastera Lisan Malaysia (PSLM), dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), manakala Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan sebagai Penaung.\nPada webinar ini, tokoh sarjana ini dengan kertas kerjanya bertajuk \u201cWhere the River Meets the Sea: Images of Water and Networks of Meaning in Malay Proverbs\u201d, menghuraikan khazanah folklor dalam peradaban bangsa Melayu dari aspek warisan pemikiran peribahasa.\n\u201cKearifan orang tua mengenai laut, sungai dan paya dicernakan dan dijelmakan sebagai peribahasa adalah cukup bijaksana, menyiratkan ketepatan maksud yang tercermin dalam keindahan ungkapannya,\u201d ujar beliau.\nIsmet Fanany menjelaskan, terdapat sekian banyak peribahasa bertitik tolak daripada alam kelautan, sungai dan paya yang begitu hebat, tepat dan mengagumkan yang dapat dimanfaatkan sebagai pengajaran, petua dan pedoman penting dalam kehidupan harian, malah sepanjang zaman.\nBeliau mengetengahkan sejumlah contoh pengamatan dan kebijaksanaan orang tua yang begitu unggul pemikiran, justeru berkemampuan menyiratkan keindahan dan kehalusan sensitiviti serta ketepatan penciptaan peribahasa dari segi maksudnya dengan laut, sungai dan paya serta persekitaran dan unsur-unsur yang berkaitan dengannya.\nAntara contohnya:\nDi samping itu, beliau menjelaskan juga tentang kepekaan yang begitu mendalam dan luas terhadap laut, sungai dan paya yang terdapat dalam pemikiran peribahasa Melayu, sehingga merenung dan mengambil iktibar daripada air, lubuk, muara, hulu, jernih, keruh, riak, ombak, pasang, surut, gelombang, apung, dan tenggelam. Semua renungan ini dijadikan pengalaman dan iktibar berguna dalam hidup yang diungkapkan sebegitu halus dan indah melalui peribahasa.\nMenariknya, darihal laut, sungai dan paya ini, beliau mengemukakan juga peribahasa dalam kebijaksanaan pemikiran orang tua yang kini sudah agak jarang diketahui oleh generasi muda sekarang.\nContohnya:\nMalah cukup menarik, pembentangan beliau turut mencerakinkan dan mengelompokkan peranan dan signifikan beberapa contoh peribahasa berkaitan laut, sungai dan paya, walau secara ringkas, dari segi budi pekerti, motivasi, kemasyarakatan, budaya, dan peradaban.\nGenerasi muda sewajarnya berasa bangga dan menghargai warisan peribahasa sebagai khazanah warisan. Justeru, warisan ini tetap bernilai, bermanfaat, serta mampu merentas zaman sampai bila-bila pun sebagai iktibar penting dalam kehidupan.\nProf. Dr. Ismet Fanany sebenarnya bukanlah asing dengan DBP. Universiti Deakin tempat beliau mengajar pernah menjalin kerjasama dengan DBP. Dua buah buku penting beliau mengenai peribahasa Melayu pernah diterbitkan oleh DBP, iaitu The Wisdom of the Malay Proverbs (2003) dan Four is Odd, Five is Even: The Cognitive Framework of Malay Proverbs (2008).\nSeramai 4790 peserta mengikuti Webinar Antarabangsa Folklor Malaysia ini pada hari perasmiannya yang disiarkan secara langsung melalui Pelantar Sosial DBP dan aplikasi Zoom. Manakala, keseluruhan segmen pembentangan kertas kerja webinar selama dua hari, sepanjang pagi hingga malam, menarik minat seramai kira-kira 7000 peserta.\nBerita Berkaitan |\nAlam Sekitar Inspirasi Folklor Warisan Masyarakat" "Pantun Melayu Sudah Lama Berkelana di Rusia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIlham Budiman mengikuti syarahan sarjana Rusia Dr. Victor A. Pogadaev pada Webinar Antarabangsa Folklor Malaysia dan mendapati pantun Melayu begitu dekat dan popular dengan sasterawan dan rakyat Rusia.\nPantun Melayu bukan sekadar diterjemahkan untuk dibaca, dikenali dan dinikmati, malah digemari, popular dan ikut berkembang dalam kesusasteraan Rusia. Bahkan, dinyanyikan!\nWah, rupa-rupanya pantun Melayu sudah lama berada di negara Rusia!\nSebelum ini, kita menyangka, pantun hanya sekadar diterjemahkan oleh para pengkaji dari Barat ke dalam bahasa Inggeris. Manakala, di negara Perancis pula, memang sudah lama kita mengetahui pantun terkenal dan popular dengan sebutan pantoum. Justeru, pantun turut mempengaruhi dan berkembang dalam kesusasteraan di negara tersebut.\nNamun, rupa-rupanya, bukan sekadar di Perancis sahaja. Pantun sudah lama dibawa menyeberang ke negara Rusia juga. Bukan sekadar diterjemahkan untuk dibaca, dikenali dan dinikmati, malah digemari, popular dan ikut berkembang dalam kesusasteraan Rusia. Bahkan, dinyanyikan.\nHal ini didedahkan oleh sarjana Rusia, Dr. Victor A. Pogadaev, yang sudah lama dikenali di negara kita melalui kertas kerja beliau bertajuk \u201cPantun Melayu di Rusia\u201d dalam Webinar Antarabangsa Folklor Malaysia baru-baru ini.\nSarjana terkenal ini membentangkan kertas kerjanya dari Rusia melalui rakaman video, memberitahu kepada khalayak peserta bahawa pengaruh sastera Melayu terhadap sastera Rusia sudah mulai nampak pada perbatasan abad ke-19 hingga ke-20.\nHal ini apabila karya yang menyalin bentuk puisi Melayu, terutamanya pantun, diciptakan oleh penyair Rusia: Valery Bryusov (1873\u20131924), Adelina Adalis (1900\u20131969), Alexander Zhovtis (1920\u20131999), dan Grigory Permyakov (1919\u20131983).\nBeliau menerangkan, dalam karya Malayskie Pesni (Lagu-lagu Melayu) misalnya yang diciptakan oleh Valery Bryusov pada tahun 1909, dengan senang boleh dikenali mengguna pakai lenggok karangan pantun dan petanda Melayu.\nContohnya, melalui ungkapan: \u201ckeharuman bunga cempaka yang diserapi oleh angin\u201d, \u201cpokok beringin\u201d, \u2018pisang\u2019, \u2018pandan\u2019, \u2018kelapa\u2019, \u2018sawah\u2019, \u201charimau di belukar rimba\u201d, dan \u201combak putih di pantai laut\u201d.\nPogadaev mengemukakan bukti seperti rangkap puisi Bryusov yang berikut:\nBely volny na poberezh\u2019i moria,\nDnem i v polnoch\u2019 oni shumiat.\nBelykh tsvetov v pole mnogo,\nLish\u2019 na odin iz nikh moi glaza gliadat. \n[Gelombang putih di pantai laut,\nSiang malam ombak menderu.\nBunga putih di padang banyak,\nYang kena di hati cuma satu.]\nGlubzhe vody v chasy priliva.\nSmelykh sglotnet ikh alchnaia past\u2019 .\nGlubzhe v dushe toska o miloy,\nNi dnem, ni v polnoch\u2019 mne ee ne laskat\u2019.\n[Pasang naik \u2013 air mendalam.\nMulut rakus menelan orang .\nNak cumbu rayu siang malam,\nRindu aku bukan kepalang.]\nNa nebe mesiats belyy i kruglyy,\nI more ot mesiatsa pliashet p\u2019iano.\nLitso tvoe \u2013 mesiats, aly \u2013 tvoi guby,\nV grudi moey serdtse pliashet p\u2019iano.\n[Di langit bulan purnama putih,\nLaut menari mabuk kepayang.\nMukamu \u2013 bulan, bibirmu merah,\nJantung menari di dada sayang.]\n.\nVeter kachaet, nadyshavshiysia champakom,\nFigi, banany, pandany, kokosy;\nVedut nevestu podrugi s lampami,\nU nee ruki v zapiast\u2019iakh, u nee s lentami kosy.\n[Angin berhembus berbau cempaka,\nKurma, kelapa, pandan dan pisang;\nPengantin gembira, di leher pedaka,\nTocang beriben, tangan bergelang.]\nRisovoe pole belo pod mesiatsem;\nCherny i krasny, shnyriaiut letuchie myshi.\nSnovobrachnoy muzhu na tsinovke veselo,\nTseluet v spinu, obnimaet podmyshki.\n[Padi memutih disinari bulan;\nKelawar hitam berandai-randai.\nPengantin baru berdakap-dakapan,\nIsteri dicium dan dibelai.]\nUtrom ukhodiat tigry v zarosli,\nUtrom zmei priachutsia v nory.\nUtrom menia solntse opalit bez zhalosti,\nUydu iskat\u2019 teni na vysokie gory.\n[Harimau ke rimba pagi-pagi,\nUlar pagi-pagi ke dalam lubang.\nPagi-pagi panas terik matahari,\nAku cari teduh di gunung-ganang.]\nSelain itu, Pogadaev turut menerangkan puisi \u201cLagu Serenada\u201d oleh Adelina Adalis yang amat popular pada awal abad ke-20. Menurut beliau, lagu ini sangat indah, malah berbentuk pantun berkait.\nBeliau mengemukakan contoh lagu pantun berkait ini sepenuhnya, untuk direnungi dan dinikmati akan keindahannya:\nTy vse, chto serdtsu milo,\nS chem ia szhilsia umom:\nTy mne liubov\u2019 i sila,-\nSpi bezmiatezhnym snom!\n[Kaulah yang kena pada hatiku,\nYang bercantum dengan mindaku\nKaulah cinta dan kekuatan aku\nTidurlah dengan lelap!]\nTy mne liubov\u2019 i sila,\nI svet v puti moem;\nVse, chto mne zhizn\u2019 sulila,-\nSpi bezmiatezhnym snom.\n[Kaulah cinta dan kekuatanku,\nCahaya dalam perjalananku\nApa yang dijanjikan kehidupan\nTidurlah dengan lelap!]\nVse, chto mne zhizn\u2019 sulila\nNaprasno s kazhdym dnem;\nVes\u2019 bred mladogo pyla, \u2013\nSpi bezmiatezhnym snom.\n[Apa yang dijanjikan kehidupan\nTernyata semakin sia-sia\nSegala cita-cita masa muda\nTidurlah dengan lelap!]\nVes\u2019 bred mladogo pyla\nO schastii zemnom\nSud\u2019ba osushchestvila, \u2013\nSpi bezmiatezhnym snom.\n[Segala cita-cita masa muda\nTentang kebahagiaan hidup\nDipenuhi oleh nasib\nTidurlah dengan lelap!]\nSud\u2019ba osushchestvila\nVse v obraze odnom,\nOdno gorit svetilo, \u2013\nSpi bezmiatezhnym snom!\n[Dipenuhi oleh nasib\nDalam satu bayangan sahaja,\nSatu matahari bercahaya\nTidurlah dengan lelap!]\nOdno gorit svetilo\nMne radostnym luchom,\nKak buria b ni grozila, \u2013\nSpi bezmiatezhnym snom!\n[Satu matahari bercahaya\nGirang menyinari aku,\nMeskipun badai menimpa\nTidurlah dengan lelap!]\nKak buria b ni grozila,\nKhotia b skvoz\u2019 vikhr\u2019 i grom\nNeslos\u2019 moe vetrilo, \u2013\nSpi bezmiatezhnym snom!\n[Meskipun badai menimpa\nMelalui angin dan petir\nLayarku melaju terus\nTidurlah dengan lelap!]\nPara pengkaji Melayu dari Rusia kelak berulang kali lagi akan mempelajari fenomena sastera Melayu dan sentiasa akan mengaguminya.\nDalam pada itu, Pogadaev menerangkan, pengajian ilmiah pantun untuk julung-julung kalinya diadakan oleh pengkaji folklor terkenal Rusia, A.N. Veselovsky (1836\u20131906) dalam bukunya Istoricheskaya Poetika (Puitika Sejarah), diterbitkan di Moscow pada tahun 1989. Hal ini kemudian diikuti oleh Lyudmila Mervart (1888\u20131965) yang turut menaruh perhatian terhadap pantun. Di samping itu, Mervant banyak menterjemahkan buku sastera Melayu klasik, termasuklah Hikayat Seri Rama dan Hikayat Sang Boma.\nMervant melalui kata pengantarnya dalam terjemahan buku G. Neverman Golos buyvola, Malayskie narodnie pesni (Suara Kerbau: Lagu-lagu Rakyat Melayu) yang diterbitkan di Moscow pada tahun 1961, memaparkan keistimewaan pantun sebagai sastera rakyat dan asal usulnya. Menurut Mervant, pantun yang tercantum dalam cerita penglipur lara memainkan peranan \u201ctonggak ingatan\u201d kerana pantun yang berbentuk puisi mudah dihafazkan.\nPogadaev juga turut menerangkan pemikiran sarjana Rusia terkemuka, Boris Parnickel (1934\u20132004) yang turut memberikan perhatian terhadap pantun. Parnickel menitikberatkan masalah asal usul pantun dengan menyatakan bahawa bentuk folklor itu sudah wujud sebelum pengaruh Hindu di Nusantara lagi. Dalam hal ini, Parnickel berkongsi hipotesis Gonda bahawa pantun lahir semasa nenek moyang penduduk Austonesia masih menempati wilayah China Selatan. Namun begitu, menurut Pogadaev, hal yang lebih terperinci tentang pantun telah dihuraikan oleh Vladimir Braginsky dalam bukunya, Istoriya Malayskoy Literaturi (Sejarah Sastera Melayu), diterbitkan di Moscow pada tahun 1983. Braginsky mengkaji struktur pantun dari segi sampiran dan isi serta pertalian antaranya, selain jenis-jenis pantun. Malah, beliau turut memerhatikan perihal simbolisme dan peranan irama dalam pantun. Di samping itu, Pogadaev turut berkongsi pengetahuan tentang kajian rima pantun yang pernah dikaji oleh seorang lagi sarjana ternama Rusia, Maria Boldireva.\nBagi Pogadaev, memang terdapat semacam enigma dan misteri dalam pantun Melayu. Beliau yakin bahawa para pengkaji Melayu dari Rusia kelak berulang kali lagi akan mempelajari fenomena sastera Melayu dan sentiasa akan mengaguminya.\n\u201cPantun ialah sastera rakyat dan hal itu menjadi punca kekuatannya dan kekalnya yang tak habis kunjung,\u201d beliau menegaskan demikian.\nMenurut Pogadaev lagi, ada beberapa orang pengkaji dalam kalangan sarjana Rusia yang melihat ciri-ciri persamaan antara pantun Melayu dengan bentuk folklor Rusia, chastushka, yang kebetulan juga terdiri daripada empat baris dan mempunyai struktur yang hampir sama dari segi sampiran dan isi. Misalnya:\nLodka tonet i ne tonet,\nPotikhonechku plyvet.\nMilyy liubit i ne liubit \u2013\nTol\u2019ko vremechko vedet.\n[Perahu antara berlayar tidak berlayar,\nDihanyutkan perlahan-lahan.\nKekasihku antara cinta tidak cinta \u2013\nHanya mensia-siakan masa.]\n\u201cDi sini, disebut dua gejala yang seakan-akan tidak ada pertaliannya. Tetapi, sampiran mengenai perahu menguatkan isi tentang cinta,\u201d jelas beliau. Dalam hal ini, perbezaan antara pantun dengan chastushka ialah chastushka dari Rusia masih dilagukan, padahal di Malaysia sekarang, kebanyakan pantun dibacakan sahaja.\nDr. Victor A. Pogadaev pernah menjadi pensyarah di Malaysia, iaitu di Universiti Malaya, selama beberapa tahun, dan kini sudah kembali ke Rusia. Beliau bertugas sebagai Profesor Madya di Institut (Universiti) Hubungan Antarabangsa Moscow dan Akademi Diplomasi di bawah Kementerian Luar Negara Rusia. Beliau juga merupakan penyusun kamus, pengulas sastera dan penterjemah. Beliau juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Nusantara dan pernah memenangi sumbangsih Prima Komexindo (1988) dan anugerah gelaran Tokoh Nusantara Melayu Raya (NUMERA) (2013). Pada tahun 2018, beliau dianugerahi Warkah Penghargaan Antarabangsa Nikolai Rerih dalam nominasi Pembentukan Imej Rusia di Dunia.\n_________________________\nIlham Budiman seorang penyantun puisi dan prosa dari Pantai Timur. Alam sekeliling dan hamparan luasnya menjadi kajang dan isi tintanya." "\u201cPuisi Berperanan dalam Pembentukan Pemikiran Bangsa\u201d \u2013 Awang Sariyan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMajlis Malam [email\u00a0protected] 2022 yang diadakan pada 31 Disember 2021 (Jumaat) mulai jam 10.00 malam secara langsung di Facebook PEMUISI Berkarya menyaksikan komitmen penganjurnya, Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) memasyarakatkan puisi dengan misi \u201cSuara Kemanusiaan Sejagat\u201d.\n\u201cDalam pembangunan negara, puisi dan sastera tidak wajar dipinggirkan kerana sejarah tamadun manusia zaman-berzaman menunjukkan peranan dan sumbangan bahasa, sastera dan budaya dalam pembangunan bangsa dan negara,\u201d kata Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa Dan Pustaka, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan ketika memberi ucapan perasmian pada malam itu.\nMenurut beliau, sastera berperanan dalam pembentukan sahsiah, daya fikir dan penghalusan budi insan, manakala puisi menjadi medium pengungkapan suara batin pemikir bangsa tentang isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan dan kehidupan manusia.\n\u201cDengan sifatnya yang halus dan mengangkat isu melalui estetik yang tinggi, puisi berperanan membentuk pemikiran bangsa,\u201d ujar Datuk Seri.\n\u201cOleh itu, perlu diusahakan pemasyarakatan puisi melalui pelbagai kaedah, agar lebih banyak khalayak yang terlibat dalam penghasilan dan penghayatan puisi untuk penghalusan budi, agar menjadi medium penyampaian ilmu, pemikiran dan isu penting bangsa dan negara.\u201d\nMenurut Presiden PEMUISI, Dato\u2019 Dr. Radzuan Ibrahim, sepanjang tahun 2021, banyak program semakin sukar diadakan secara pertemuan bersemuka gara-gara keadaan pandemik, tetapi PEMUISI terus berswadaya menganjurkan aktiviti-aktiviti puisi dan sastera secara dalam talian.\n\u201cLebih 30 program telah berjaya dianjurkan sepanjang tahun 2021. Antara program yang berjaya mendapat sambutan luar biasa ialah Malam Getaran Jiwa Tan Sri P. Ramlee, Perisytiharan Hari Puisi Malaysia (pada tanggal 13 Jun setiap tahun) oleh YB Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) kali ke-2, Sayembara Deklamasi Puisi Sektor Perundangan (SDPSP) 2021, Pengucapan Puisi Antarabangsa Kedamaian Dunia (membabitkan 20 buah negara), Baca Puisi Nanggala, Malam Kemuncak Puisi Buat Palestin, Program Mesra Perkampungan PEMUISI di Hulu Langat, dan Baca Puisi Bulanan [email\u00a0protected]. Dari segi penerbitan, PEMUISI telah berjaya menerbitkan sembilan buah buku antologi puisi dan kumpulan puisi serta menerbitkan majalah bulanan Jurnal PEMUISI yang kini masuk edisi ke-32,\u201d kata Radzuan.\nMenurut Radzuan, dari segi hubungan dengan para pemuisi di luar negara, PEMUISI telah membentuk jaringan melalui Kerabat PEMUISI Sedunia, iaitu dianggotai oleh sebanyak 28 organisasi daripada 12 buah negara.\nMenyentuh tentang program yang diadakan pada malam itu, Radzuan berkata, \u201cMajlis ini merupakan acara kemuncak program Suara Kesyukuran PEMUISI yang diadakan pada 15 hingga 25 Disember 2021 di Facebook PEMUISI Berkarya, yang mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan sebanyak 150 karya puisi dan video puisi dalam tempoh tersebut.\u201d\nSebanyak sepuluh karya video puisi terpilih untuk siaran program Malam [email\u00a0protected] 2022 itu. Antara yang terpilih yang juga membaca karya sendiri termasuk Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail (\u201cSyukur\u201d), Samsudin Ahmad (\u201cDendangan Alam\u201d), Al Khair Al Johore (\u201cPeran [email\u00a0protected]\u201d), Fauziah Md Zakaria (\u201cCoretan Senja\u201d), Sita Aulliya (\u201cKepadamu\u201d), Kasmah Osingang (\u201cAku Bersyukur kerana Masih Ada di Sini\u201d), Aisyah Amsal (\u201cMunajat di Sepertiga Malam\u201d), dan Julia Ikin (\u201cHamparan Syukur\u201d). Manakala, dua orang peserta, iaitu Baiq Mustika memilih karya berjudul \u201cSurat untuk Cinta\u201d nukilan Al Khair Al Johore dan Awang Que Rifa\u2019ie Awang Shur membaca karangan Shur A.S Madrin bertajuk \u201cPersinggahan Destinasi\u201d.\nSelain 10 peserta terpilih daripada acara sebelum itu, program malam itu turut membabitkan penampilan Sasterawan Negara, tokoh akademik, budayawan, deklamator kebangsaan, dan penggiat seni tanah air.\n\u201cKita rasa bertuah kerana Ketua Hakim Syarie Negeri Melaka, Yang Amat Arif Datuk Mohd. Nadzri Abdul Rahman Ibrahim juga turut menyumbangkan sebuah bacaan puisi,\u201d kata Radzuan.\nRadzuan juga berharap agar penglibatan Yang Amat Arif akan menarik lebih ramai peguam, pegawai mahkamah dan semua yang terlibat dalam bidang perundangan untuk bersama PEMUISI menyemarakkan dan memartabatkan puisi.\nProgram Malam [email\u00a0protected] 2022 turut disemarakkan oleh Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan (\u201cErti Syukur\u201d), Dato\u2019 Dr. Radzuan Ibrahim (\u201cJika Tok Janggut Masih Hidup\u201d), Sasterawan Negara Dato\u2019 Dr. Zurinah Hassan (\u201cHujan di Kuala Lumpur\u201d), Dato\u2019 Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob (\u201cAbu Bin Adam\u201d), Dr. Zainatul Shuhaida (\u201cSuatu Hari Akan Nampak\u201d), Zaleena E-na (\u201cLandasan\u201d karya A. Aziz Deraman), Marzelan Perindu Seni (\u201cTransisi Keamanan\u201d), Harlym Yeo (\u201cPotret Kedamaian\u201d), Ezad SS (\u201cLingkaran Kemanusiaan\u201d), dan Nor Asiya Nasir (\u201cPalestin\u201d karya Wanrazuhar).\nProgram itu juga menampilkan dua johan sayembara puisi yang diadakan oleh PEMUISI baru-baru ini. Mereka ialah Atikapuspha (Johan Sayembara Deklamasi Puisi Sektor Perundangan) yang mendeklamasikan puisi berjudul \u201cCerita dari Sebuah Lingua Franca\u201d karya Taksu Zacharia dan Mohamad Hakimi Mohamad Rejab (Johan Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia tahun 2021) yang membaca puisi \u201cSecangkir Dakwat Merah\u201d karya Mas Idayu Muhamadan.\nTurut sama menyerikan persembahan program malam itu melalui dendangan lagu puisi ialah Yuzailan Yunus, Siso Kopratasa dan Adiwangsa Sukma. Pengacara majlis dalam talian itu disempurnakan oleh Harlym Yeo dan Bunga Merah.\n\u201cDalam kegiatan akan datang, perlu disantuni golongan pemimpin agar melibatkan diri dan memberikan komitmen dalam perkembangan bahasa, sastera dan budaya,\u201d ujar Prof. Dr. Awang Sariyan yang turut mendeklamasikan sajak beliau berjudul \u201cErti Syukur\u201d. Antara petikan sajak beliau adalah seperti berikut:\nSyukur bukan hiasan lisan\nSyukur tertancap di maqam ihsan\nSyukur diungkapkan dan dilaksanakan.\nMajlis berbentuk kesyukuran bersempena sambutan tahun baharu 2022 yang berlangsung hampir tiga jam itu merupakan penutup tirai program PEMUISI untuk tahun 2021.\n\nTonton majlis penuh di sini." "\u201cPemuisi Perlu Tingkatkan Kualiti Karya melalui Proses Kreatif dan Kehebatan Pemikiran\u201d \u2013 A. Aziz Deraman\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cSeni Puisi Era Moden\u201d dijadikan topik perbualan dalam segmen Canai Puisi menerusi program Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan 16.0 anjuran kerjasama antara Pusat Budaya dan Seni, Universiti Utara Malaysia (UUM), Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), Alumni Bengkel Puisi Merdeka, dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nProgram bulanan edisi bulan Januari itu bersiaran secara dalam talian melalui pelantar Zoom ke Facebook Pemuisi Berkarya, Pusat Budaya UUM, dan DBP pada 1 Januari lalu dengan menampilkan mantan Ketua Pengarah DBP, Dato\u2019 A. Aziz Deraman sebagai panel bual bicara manakala Pengarah Pusat Budaya dan Seni UUM, Asmawiza Haji Hussin sebagai moderator.\n\u201cDunia kehidupan manusia dalam zaman moden kontemporari ini memang lebih mencabar, kronik dan bergelut dengan segala macam situasi, isu dan perkara yang berbeza dengan zaman lampau,\u201d jelas Aziz.\nAziz menegaskan bahawa kehidupan manusia sentiasa bergerak ke hadapan. Sifat pemikiran manusia akan menjadi lebih baik kerana manusia memiliki akal fikiran dan kecerdasan meneroka atau mempelopori kehebatan sesuatu bidang perubahan yang menjanakan kebaikan.\n\u201cLalu melalui proses kreativiti dan inovasi, sesuatu bangsa akan bergerak mencapai kemajuan bukan sahaja di bidang politik dan ekonomi, bahkan sosial dan kebudayaan. Maka, kesusasteraan atau apa jua bidang kesenian sebagai antara kandungan kebudayaan akan mempengaruhi dan dimanfaatkan dalam ketinggian pencapaian pemikiran yang secara langsung mencorakkan peradaban bangsa kita,\u201d katanya lagi.\nBeliau juga menyeru kepada semua pelayar, terutamanya yang berminat menjadi pemuisi agar \u201csentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti karya melalui proses kreatif dan kehebatan pemikiran.\u201d\nTerdahulu sebelum segmen bual bicara, para pelayar dihidangkan dengan 24 sajian persembahan puisi Melayu daripada pemuisi tempatan dan peserta dari Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, dan Republik Rakyat China.\nBertepatan dengan tarikh penganjurannya pada 1 Januari, program itu dimulakan dengan \u201cSyair Tahun Baharu\u201d irama Batu Belah dendangan pelajar UUM, Raja Nurul Farhana. Diikuti pula dengan persembahan lagu puisi berirama rancak dan moden berjudul Nakal Berakal alunan Hanna Aleesya dari negara China yang kini mengajar di Sichuan International Studies University, China.\nBersama mahasiswa dan mahasiswi universiti berkenaan, Hanna juga menonjolkan persembahan Zhang Wan\u2019[email\u00a0protected] (\u201cWajahmu, Hatiku\u201d), Liu [email\u00a0protected] (\u201cKenangan yang Kekal Selama-lamanya\u201d) dan Wu [email\u00a0protected] (\u201cMendapat Hidupan Lebih Terang\u201d). Dengan berkat bimbingan pensyarahnya, masing-masing mendeklamasikan puisi Melayu hasil karangan mereka sendiri dengan penuh keyakinan.\nSebagai penganjur utama program itu, UUM dan PEMUISI turut menghidangkan persembahan daripada peserta mereka. Daripada PEMUISI, Presidennya Dato\u2019 Dr. Radzuan Ibrahim mempersembahkan karyanya berjudul \u201cDoa Jiwa Bangsa\u201d. Manakala UUM menyediakan lima peserta, iaitu Nurul Aida Azrina Ibrahim (\u201cKehidupan yang Misteri\u201d), Jocelyn Chua Jia Ee (\u201cMasa Ibarat Emas\u201d), Nur Ilyani (\u201cMenelan Pahit\u201d), Muhammad Zulsafwan Yusoff (\u201cDunia yang Sementara\u201d), dan\nNur Haziqah Abdul Halim (\u201cKeringat yang Membasahi Bumi\u201d).\nTurut menyantuni program itu ialah Sasterawan Negara (SN) Dato\u2019 Dr. Zurinah Hassan yang mendedikasikan syair yang dikarang khusus untuk para sukarelawan ekoran kejadian banjir yang berlaku di Shah Alam baru-baru ini, berjudul \u201cUntukmu Sukarelawan\u201d. Manakala mantan Naib Canselor Universiti Malaya, Kepten Dato\u2019 Prof. Emeritus Dr. Hashim Yaacob mendeklamasikan sajak beliau berjudul \u201cPokok Tinggi Emak\u201d.\nDengan penuh semangat, Dr. Ayudez Zuraina melantunkan sajak karya Arbak Othaman berjudul \u201cKuntum-kuntum Bunga\u201d, manakala Dr. Zainatul Shuhaida menyajikan persembahan beliau dengan karyanya bertajuk \u201cPercayalah\u201d.\nTiga persembahan yang menarik mengangkat karya A. Aziz Deraman, berjudul \u201cLuka Hati Bangsa\u201d, \u201cPancang\u201d dan \u201cLidah Bangsa\u201d. Sajak-sajak ini dipersembahkan dengan penuh semangat oleh Rusdi Mohamad Noor, gandingan duet Wee Soo Lian dan Sujata Wee, dan A. Aziz Deraman sendiri.\nDua karya SN Dato\u2019 Dr. Usman Awang juga dipertontonkan melalui persembahan lagu puisi oleh Ong Boo Siong yang berjudul Salam Benua dan Siso Kopratasa yang bertajuk Tanah Air.\nSelain peserta tempatan, program itu juga berjaya meraih penyertaan dari Indonesia, iaitu Hudan Nur (\u201cFragmen\u201d), Sherly Mayda (\u201cWali Nanggroe\u201d) dan Moh. Ghufron Cholid (\u201cKembali ke Rumah\u201d). Sementara dari Singapura, pasangan suami isteri Sam Sumardi dan Ratnasam Sib II menghiburkan penonton dengan persembahan lagu puisi Tarian Mistikku.\nGandingan mantap peserta dari Brunei Darussalam; Ubai Had dan Malaysia; Galuh Cendana Kirana pula mempersembahkan alunan lagu campuran Alus Jua Dendang dan Bergending Dang Gong.\n\u201cSaya amat positif menaruh harapan moga-moga para budayawan, sasterawan, seniman, pengarang, dan penyair kita merebut peluang dan ruang terbuka kebebasan dunia siber tanpa sempadan ini dengan keutamaan teratas dan berhasil melahirkan ciptaan karya yang bermanfaat, bermutu tinggi, setaraf dengan peringkat antarabangsa dan mendukung keunggulan tersendiri,\u201d ujar Aziz Deraman.\nMajlis yang berlangsung hampir empat jam itu dikemudi oleh pengacara gandingan Harlym Yeo dan Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail.\nKembali menemui peminat puisi Melayu dengan lebih menyengat dengan judul \u201cLagu Puisi\u201d, Siso Kopratasa terpilih sebagai ahli panel segmen bual bicara Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan 17.0 edisi bulan Februari yang dijangka akan bersiaran pada 2 Februari 2022, Rabu, 9.00 malam.\n\nTonton acara penuh di sini." "Folklor Sedang Berdepan Cabaran dan Perubahan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBetapa perlunya kesedaran dalam kalangan masyarakat, terutama bagi generasi muda menerima hakikat bahawa folklor pada masa sekarang sedang mengalami cabaran dan perubahan. Hal itu merupakan isu utama yang diketengahkan oleh Dato\u2019 A. Aziz Deraman melalui Webinar Antarabangsa Folklor Malaysia, berlangsung pada 3\u20134 Disember baru-baru ini.\nBeliau berkata, arah tuju folklor sangat bergantung pada kesedaran masyarakat dan sejauh mana keprihatinan pewarisnya memelihara serta menggalakkan perkembangannya. Hal ini kerana perubahan boleh terjadi disebabkan oleh perubahan budaya sesuatu masyarakat itu sendiri, khususnya berkaitan perubahan dalam kemajuan hidup moden dan perlumbaan demi mengubah status ekonomi.\nDato\u2019 A. Aziz Deraman membentangkan kertas ucap utamanya yang bertajuk \u201cFolklor Melayu: Cabaran dan Arah Masa Depan\u201d. Beliau menghuraikan perubahan ini berlaku sejak beberapa lama, khususnya apabila negara mencapai kemerdekaan, maka pelbagai rancangan pembangunan dilaksanakan di Malaysia dan di negara-negara serumpun bangsa di peringkat rantau.\nBeliau menerangkan, faktor pembangunan moden mendatangkan perubahan pada struktur dan sistem tradisional, lantas menimbulkan gejala-gejala baharu.\n\u201cKesannya, bukan sahaja terhadap beberapa bidang kehidupan tertentu, tetapi juga kesannya terhadap warisan budaya dan warisan folklor.\u201d\nMasyarakat Melayu misalnya, turut ikut mengalami perubahan fikiran dan pemikiran melalui pelbagai aspek kehidupan masyarakat dan budayanya. Dalam pada itu, proses pemasyarakatan pun terkesan, dengan adanya perubahan mengikut trend baharu sehingga sukar dipisahkan, termasuk dasar-dasar berhubung dengan pendidikan.\nBeliau tidak menafikan kepentingan dan manfaat besar perubahan pada modenisasi. Namun begitu, faktor kesilapan, kekeliruan dan ketidakfahaman generasi muda untuk menghargai serta mencintai warisan budaya bangsa sendiri telah mengakibatkan keterhakisan dan kelunturan jati diri.\nTegas beliau, \u201cProses perubahan yang dialami oleh masyarakat kini telah membawa kesan yang hebat terhadap beberapa aspek perwarisan budaya Melayu. Padahal, warisan tradisional bangsa adalah sangat bernilai tinggi dan harus dipelihara serta dipulihara.\u201d\nA. Aziz Deraman yang terkenal sebagai tokoh pemikir, menjelaskan perubahan dan perkembangan sosiobudaya di rantau Nusantara atau di Malaysia sendiri, bukan sekadar memungkinkan, malah telah mewujudkan perubahan terhadap sikap, tabiat atau bagaimana terjadinya perbezaan dalam cara pewarisan aspek-aspek budaya.\n\u201cPemuliharaan, penggalakan dan gerak usaha untuk menanamkan jiwa baharu yang bertujuan menimbulkan rasa kesayangan terhadap budaya bangsa adalah sangat perlu dan amat penting.\n\u201cLangkah ini akan merupakan cara pengimbangan antara perubahan dengan kerelevanan kepentingan warisan tradisional,\u201d tegasnya.\nMenurutnya lagi, dalam penelitian tradisi budaya sesuatu masyarakat, lazimnya hubungan sesuatu ciri budaya akan dikaitkan dengan fungsinya. Maka, bagi melihat kedudukan folklor dalam masyarakat Melayu, hal ini memerlukan pemerhatian dan sudut pendekatan yang diakronik.\nPada konteks peranan folklor dalam masyarakat Melayu, beliau menegaskan, \u201cFolklor atau tradisi lisan mempunyai banyak kepentingan dari segi peranannya.\u201d\nAntaranya, bagi memupuk kesatuan (oneness), rasa kebersamaan (sense of belonging), rasa kekitaan (esprit de corps), keharmonian, dan penghubung antara anggota masyarakat. Fungsi penting folklor pula dapat dikaitkan dengan aspek hiburan, pengesahan budaya (cultural legitimacy), pemasyarakatan (socialization), dan pengekalan penerimaan masyarakat. Faktor-faktor tersebut memang sedikit sebanyak ada hubungannya dengan kedudukan tradisi lisan atau status folklor dalam masyarakat.\n\u201cFolklor menjadi sangat berfaedah bagi tujuan melihat aspek-aspek budaya tradisional sesuatu masyarakat. Ia akan berguna untuk diperhatikan bagaimana masyarakat itu menjalani kehidupan mereka merentasi zaman.\n\u201cTradisinya memiliki fungsi kawalan sosial (social control), fungsi nilai-nilai budaya (cultural values) yang mengawal kehidupan anggota masyarakatnya; sebagaimana yang terdapat dalam pantun, syair, peribahasa, perumpamaan, gurindam, seloka, nazam, pepatah, petitih, perbilangan adat, dan undang-undang Melayu lama,\u201d beliau menjelaskan.\nKatanya lagi, keperluan terhadap penyelidikan dan pendokumentasiannya, bahkan penerbitan menjadi antara langkah-langkah yang boleh menghubungkannya dengan pelbagai ranah kehidupan masyarakat. Aspek-aspek sedemikian berguna untuk dijadikan rujukan atau bahan sumber tentang aneka macam warisan, misalnya sastera, antropologi, sejarah, perubatan tradisional, linguistik, malah dapat menyerlahkan fenomena tradisi budaya masyarakat itu sendiri.\nProses memasyarakatkan anggota masyarakat lazimnya disalurkan melalui pemupukan nilai dan norma, prinsip-prinsip berkeluarga, bermasyarakat, nilai muafakat, kerjasama berkomuniti, sehingga seseorang itu memahami apakah yang masyarakat itu perlukan. Peribadinya boleh terbina melalui perilaku, sebagaimana masyarakat kehendaki.\n\u201cOleh yang demikian, fenomena folklor atau tradisi lisan itu tetap berkaitan dengan kehidupan masyarakat manusia,\u201d tegas beliau. \u201cBanyak kebudayaan di dunia ini dalam pewarisannya mengutamakan tradisi lisan, khasnya folklor.\u201d\nSesungguhnya, folklore atau tradisi lisan dapat menggambarkan pandangan alam (Weltanschauung) bangsa atau masyarakat yang mencitrakan budaya, pemikiran, tahap pengetahuan, dan aneka corak warisan masyarakat dalam banyak perkara. Setiap bangsa, masyarakat, kumpulan etnik, dan suku bangsa memang mempunyai pandangan alam dan etos yang tersendiri.\n\u201cNamun, pada umumnya, tradisi lisan semakin tersisih oleh arus pembangunan material, kerana citra dan sifat penting masyarakat tradisional telah mengalami suatu corak transformasi sehingga mengakibatkan citra, sifat dan ciri-ciri budaya tradisional kehilangan fungsinya.\u201d\nTerdapat beberapa faktor yang dapat dikaitkan dengan kemerosotan situasi mahupun fungsi tradisi lisan dalam masyarakat masa kini.\n\u201cFaktor utama, salah satunya, kemajuan yang pesat dalam bidang ilmu pengetahuan yang sesetengahnya semata-mata beralaskan pemikiran saintifik, menyangkal warisan tradisional yang dianggap tidak berasaskan sains dan logik. Di samping itu, arus modenisasi yang lebih mementingkan material, mengatasi kepentingan warisan tradisional,\u201d tegas Dato\u2019 A. Aziz Deraman.\nSeramai 4790 peserta mengikuti Webinar Antarabangsa Folklor Malaysia ini pada hari perasmiannya yang disiarkan secara langsung melalui Pelantar Sosial DBP dan aplikasi Zoom. Manakala, keseluruhan segmen pembentangan kertas kerja webinar selama dua hari, sepanjang pagi hingga malam, menarik minat seramai kira-kira 7000 peserta.\nBerita Berkaitan |\u00a0\nAlam Sekitar Inspirasi Folklor Warisan Masyarakat" "Bahasa yang Indah Cerminan Peribadi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNilai \u2013 Bahasa dan budi merupakan dua perkara yang penting dalam menggambarkan keperibadian dan perwatakan seseorang. Penggunaan bahasa yang indah ialah cermin keperibadian kita. Namun begitu, golongan muda masa ini dilihat semakin rapuh bahasanya dan acapkali menggunakan bahasa-bahasa yang tidak baik dan agak kasar dalam komunikasi mereka seharian. Sehubungan dengan itu, Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)\u00a0 dan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) Wilayah Tengah, telah bekerjasama menganjurkan forum berjudul \u201cYang Indah Itu Bahasa\u201d pada hari ini.\nMenurut personaliti televisyen, Encik Ahmad Fedtri Yahya, selaku ahli panel forum tersebut, bahasa yang indah merupakan satu bentuk komunikasi yang baik. Kebanyakan ibu bapa sebenarnya telah mendidik anak masing-masing dengan bahasa yang baik tetapi apabila semakin membesar, mereka terdedah dengan bahasa yang tidak baik dan kasar melalui pergaulan dengan rakan-rakan sebaya.\nTambah beliau, bahasa Melayu juga sebagaimana bahasa lain berkembang dan mempunyai makna perkataan yang membawa makna berlainan daripada maksud asalnya seperti perkataan \u201cmembawang\u201d. Katanya lagi, sebagai umat Islam, tiada ahli syurga yang berbahasa kasar. Namun begitu, orang muda kini begitu mudah menggunakan bahasa yang tidak baik kerana pengaruh sekeliling mereka memainkan peranan yang besar.\nMenurut beliau, dakwah itu luas dan mengajak masyarakat bercakap dengan bahasa yang baik juga sebahagian daripadanya. Kita perlu melihat, mentaksir, menganalisis dan sentiasa menambah pengetahuan untuk berbahasa dengan baik.\nPencinta bahasa sebenarnya perlu banyak membaca. Sebenarnya situasi kini sangat membimbangkan kerana jika pencinta bahasa yang terdiri daripada mereka yang berusia telah tiada dan tinggallah generasi baharu yang lebih banyak berbahasa yang tidak baik akan menyebabkan bahasa Melayu semakin rapuh.\nKatanya lagi, kebanyakan daripada golongan muda berasa bimbang untuk mempelajari bidang berkaitan dengan bahasa kerana dikatakan tidak mempunyai masa hadapan yang baik sedangkan bahasa tidak boleh bergerak sendiri tetapi bergantung kepada penuturnya.\nBeliau turut berkongsi dengan khalayak tentang lirik-lirik lagu yang indah pada zamannya membesar sehingga menimbulkan rasa cinta akan bahasa itu berputik dalam dirinya Di Indonesia, para penjawat awamnya perlu menghafal banyak puisi kenegaraan supaya jiwa orang Indonesia berbekas dalam diri mereka. Beliau berkata, dalam memupuk kecintaan terhadap bahasa ibunda kepada anak-anaknya, beliau berbual menggunakan dialek kerana di sekolah anak-anak hanya bercakap bahasa standard.\nTulisan memerlukan penjelasan yang 4M, iaitu majlis seperti forum untuk berdiskusi, murabbi untuk menerangkan maksud penulisan tersebut dengan lebih jelas, memasyarakatkan karya itu melalui lagu contohnya agar lebih difahami dan memvisualkannya dalam drama pentas pendek sebagai contoh untuk difahami. Semua sudut dalam kehidupan kita ada makna yang tersirat.\nSementara itu, penceramah motivasi, Puan Fynn Jamal sebagai ahli panel kedua forum pula membuka perkongsiannya dengan menyatakan bahasa sebenarnya tiada harga jika tiada makna yang diletakkan. Golongan muda pada zaman ini terpaksa menggunakan bahasa yang diguna pakai oleh kebanyakan individu sekeliling mereka kerana mereka mahu diterima dalam kelompok tersebut.\nBeliau juga sangat menghargai perasaan dan tidak kisah dengan pemilihan perkataan asalkan tidak kasar dan tidak membawa makna fasik. Keindahan bahasa antara setiap orang itu tidak sama.\nKita tidak boleh memaksa masyarakat untuk mencintai bahasa. Walaupun industri mengatakan bahawa lagu-lagu yang liriknya indah kurang digemari atau diminati oleh masyarakat tetapi saudara Fedtri masih kekal relevan dalam industri hingga kini kerana \u201cnaskhahnya\u201c yang cantik. Sesuatu yang cantik dan indah sebenarnya kekal relevan kerana tidak ada sempadannya. Tanpa pencerita yang bagus, maka tidak adalah peristiwa yang terjadi pada hari ini yang dapat dikisahkan.\nBeliau turut mencadangkan pemberian naskhah yang indah kepada golongan muda dalam usaha atau inisiatif untuk mendekatkan diri mereka dengan sastera. Jika tidak diberikan pendedahan tentang indahnya bahasa dan sastera, tidak mungkin golongan ini mahu cuba mengenalnya. Setelah itu, golongan yang telah meminatinya boleh cuba untuk mempengaruhi individu sekeliling mereka.\nDemikianlah penerangan dan perbincangan menarik oleh dua ahli panel yang turut melibatkan sesi interaktif bersama-sama khalayak forum bersama-sama Timbalan Pengarah StraComm USIM, Encik Mohd Zaini Othman, yang bertindak selaku moderator. Forum yang berlangsung selama lebih kurang dua jam setengah ini diadakan di ruang legar perpustakaan USIM, yang juga bersiaran secara langsung secara dalam talian melalui USIMTV dan portal JendelaDBP" "Fiksyen Sains dalam Cerita Lipur Lara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cBangsa Melayu merupakan satu bangsa yang menyimpan kehebatan intelektual,\u201d ujar Nisah Haron, ahli tetap Persatuan Sastera Lisan Malaysia sewaktu membentangkan kajiannya tentang \u201cFiksyen Sains dalam Cerita-cerita Lipur Lara\u201d di laman Facebook Persatuan Sastera Lisan Malaysia pada 25 Disember lalu.\n\u201cSastera satu disiplin. Menjadi penulis tidak menjadikan kita orang yang sangat berpengetahuan dalam disiplin sastera. Oleh sebab itu, menjadi penulis dan mengkaji sastera ialah dua hal yang berbeza,\u201d jelas Nisah.\nBagi Nisah, kita tidak boleh membuat tanggapan bahawa orang yang boleh menulis sudah hebat sasteranya. Dia perlukan disiplin, bimbingan, bacaan, dan cara melihat secara akademik yang tidak dilalui ketika menjadi penulis. Nisah sendiri sudah mendekati sastera lisan sejak kanak-kanak lagi.\nOleh sebab bahan bacaan agak terhad pada ketika itu, Nisah telah mencari dan membaca teks-teks bacaan lama. Namun begitu, pada ketika itu beliau tidak tahu pun sama ada bacaan teks lama tersebut merupakan sastera lisan atau cerita rakyat. Oleh sebab pengalaman bacaan tersebut, tanpa sedar, menjadi benih-benih yang ditanam dalam dunia pencerekaannya. Lantaran itu, tidak hairanlah pada awal penulisan beliau sewaktu remaja, beliau banyak menghasilkan karya fantasi.\nMenurut beliau, cerita lipur lara mempunyai keanehan dan sisi menarik jika hendak dibandingkan dengan sastera lisan yang lain, seperti teka-teki, pantun dan gurindam.\n\u201cSastera lisan yang kita peroleh pada hari ini merupakan hasil daripada transkripsi yang telah dilakukan oleh R.O Winstedt, pakar pengkaji sejarah dan sastera Melayu yang pada ketika itu ialah Pegawai Daerah Kuala Pilah. Beliau sanggup berulang-alik dari Kuala Pilah ke Perak semata-mata mahu mendengar cerita-cerita lisan yang disampaikan oleh Pawang Ana.\n\u201cMemandangkan pada ketika itu hiburan adalah amat terhad, maka Winstedt sanggup berbuat demikian untuk mencari hiburan dalam hidupnya. Cuma, sedikit kekeliruan pada tulisan Winstedt kerana menulis tajuk-tajuk cerita lipur raya itu menjadi hikayat, seperti Hikayat Anggun Che Tunggal, Hikayat Malim Dewa dan Hikayat Malim Deman. Sedangkan maksud hikayat itu sendiri asalnya ialah cerita bertulis, sedangkan ia sebenarnya cerita yang diperoleh secara lisan. Maka tidak perlu pun menulis perkataan \u2018hikayat\u2019. Memadai menulis Anggun Chik Tunggal, Malim Dewa dan Malim Deman sahaja,\u201d jelas Nisah.\nWinstedt yang begitu banyak mengumpul sastera lisan pernah berkata bahawa cerita lipur lara \u201cis the cream of Malay fiction.\u201d Jelas di sini bahawa orang Melayu sangat kaya dengan khazanah intelektual. Keanehan yang terdapat dalam sastera lisan Melayu berlaku kerana orang Melayu mencari eskapisme dan sumber hiburan. Pada ketika itu, hiburan datang daripada para penglipur lara. Justeru, penglipur lara ialah tokoh besar yang diangkat pada zaman tersebut kerana peranan besarnya menyampaikan cerita dan berita, sehingga dapat menarik minat pendengar selain menghiburkan.\nDalam hal ini, Nisah melihat pula sisi kajian fiksyen sains dengan membahagikannya kepada dua bahagian, iaitu konsep dan hasil. Dengan cara ini, dapatlah dikupas konsep-konsep yang menunjangi reka bentuk sesuatu gagasan yang dibawa oleh setiap cerita lipur lara dan kesan yang dapat dilihat selepasnya.\n\u201cKita sering membaca kisah-kisah fiksyen barat tentang Unicorn, iaitu sejenis kuda bertanduk yang tidak boleh terbang, manakala istilah Pegasus pula digunakan untuk kuda yang boleh terbang. Kedua-dua istilah ini dieja dengan huruf besar, menunjukkan kata nama khas. Sedangkan dalam cerita-cerita sastera lisan Melayu kita, ada istilah umum, iaitu \u2018semberani\u2019, seekor kuda bersayap yang boleh terbang. Sehinggakan dalam kisah Anggun Che Tunggal, semberani digambarkan sebagai \u2018berbulukan jarum berekorkan pedang\u2019. \u201cDemikian begitu lunak dan cantiknya orang-orang Melayu berkias semata-mata mahu menggambarkan kehebatan semberani sebagai alat pengangkutan yang berperisai pada zaman tersebut. Namun sayangnya, cerita-cerita fiksyen sains Melayu yang dijadikan buku kanak-kanak oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sendiri, khususnya pada awal 1980-an sering mengambil acuan Barat. Tidak terlihat pun gabungan fiksyen sains dari dunia Melayu. Maka ia kelihatan kosong seperti tidak ada apa-apa dan menjadi kisah dongeng semata-mata.\u201d ujar Nisah.\nSetelah melihat dan mengkaji beberapa buah cerita lipur lara hasil transkripsi Winstedt, seperti Hikayat Malim Dewa, Hikayat Malim Deman, Hikayat Anggun Che Tunggal, Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Raja Muda, dan Hikayat Terung Pipit, maka Nisah mendapati bahawa elemen fiksyen sains Melayu mengandungi tiga unsur, iaitu aneh, novum (baharu) dan proto. Hal ini jelas membuktikan kehebatan penglipur lara yang berdaya kreatif menggunakan pandangan alam dan mampu berfikir di luar batas. Hasilnya juga membuktikan bahawa pemikiran masyarakat Melayu sangat kreatif kerana mampu menjana idea dengan begitu baik dan daya fikir orang Melayu sangat maju dan genius dari segi aspirasinya melangkaui zaman.\nBentuk-bentuk atau unsur-unsur sains dan teknologi yang terkandung dalam cerita lipur lara juga menggunakan kaedah komunikasi, alat kawalan minda berserta nujuman atau ramalan, hingga akhirnya dapat dipadankan istilah-istilah sains pada masa kini yang sebenarnya telah pun muncul pada zaman dahulu, meskipun ketika itu istilah ini belum wujud.\nKonsep wayarles misalnya, sudah ada dalam cerita lipur lara Hikayat Parang Puting, iaitu kisah sejenis parang yang tiada hulu, akan mengikut cakap tuannya apabila diarahkan terbang dan menebas. Inilah konsep moden yang kita lihat pada hari ini tetapi telah pun digunakan oleh orang-orang pada zaman dahulu. Lantaran itu, ia bukanlah kisah dongeng. Inilah yang dikatakan sains fiksyen, iaitu bersifat aneh bagi dunia orang pada zaman ini tetapi tidak bagi orang-orang pada zaman tersebut. Hanya perkara ini bergantung pada cara kita membawa dan merelevankan cara pemikirannya sahaja.\n\u201cRambutnya cantik bak ikal mayang dan hidungnya cantik bak seludang. Peribahasa ini digunakan pada zaman dahulu berasaskan pada pandangan alam yang wujud pada ketika itu. Generasi kini mungkin tidak faham akan perbandingan ini kerana mereka tidak pernah pun melihat bagaimana rupanya mayang dan seludang kelapa. Mereka tidak dapat membayangkan bagaimanakah rupa bentuk rambut yang ikal mayang. Namun barangkali apabila disebut rambut ikal seperti Maggi maka barulah mereka jelas dan faham maksud perbandingan itu kerana remaja kini tahu apa itu Maggi. Tahap ilmu sains pada ketika itu mungkin rendah tetapi mampu berfikir di luar batas dan mampu mencipta konsep,\u201d ujar beliau.\nInilah yang dilakukan oleh Nisah dalam kajian sarjananya, iaitu mengubah cara pandang saintifik dan menganalisis simbol-simbol aneh dalam karya fiksyen sains Melayu. Pengamatan terhadap fiksyen sains Melayu bukan bergantung pada soal logik atau tidak, tetapi lebih terhadap persoalan konsep.\n\u201cKita pernah mendengar cerita orang-orang hebat bersembahyang subuh di rumah dan di Mekah secara serentak. Ia normal dan tidak mustahil bagi orang-orang yang menguasai ilmu masa atau portal. Tetapi dilihat aneh bagi dunia kita pada zaman ini sedangkan pada suatu masa terkehadapan, ia mungkin menjadi relevan. Inilah bangsa Melayu yang sering tidak menyimpan kehebatan dari segi material, tetapi menyimpan kehebatan dari segi intelektual.\u201d\nTonton pembentangan penuh di sini." "Ketua Polis Kelantan Melancarkan Sajak-sajak Daerah Pesisir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Usaha Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) mengadakan majlis pelancaran antologi puisi Sajak-sajak Daerah Pesisir yang diselenggarakan oleh Awang Abdullah dan Che Zawiah Che Pa menerima pujian daripada Yang Dihormati CP Dato\u2019 Shafein Mamat, Ketua Polis Kelantan.\nBeliau yang sudah 37 tahun meninggalkan dunia sastera dan penulisan merakamkan ucapan terima kasih kepada PPK dan Awang Abdullah khususnya, yang berkali-kali mengundang beliau untuk hadir menyempurnakan program ini. Beliau salah seorang pengasas yang menubuhkan Persatuan Penulis Tumpat (PESISIR) \u2013 kini dikenali sebagai Persatuan Penulis dan Budayawan Kelantan, berasa terharu kerana diundang dan menyaksikan sendiri komitmen ramai penulis yang hadir menjayakan program ini.\n\u201cKalau keadaan mengizinkan, PDRM Kelantan akan mengadakan program kesenian dengan kolaborasi PPK dan badan-badan penulis yang lain. Dalam kalangan warga polis, saya dapati ada yang berminat dalam lapangan sastera dan kita berharap cetusan idea bersama itu nanti dapat memberikan impak kepada khalayak pada hari ini. Masyarakat hari ini terbuka kepada media sosial dan mesej yang disampaikan nanti semoga dapat diterima (oleh masyarakat).\n\u201cSaya amat menghargai usaha yang jarang-jarang dilakukan oleh penulis seperti Awang Abdullah dan Che Zawiah Che Pa yang bergerak secara solo (menyelenggarakan dan menerbitkan antologi puisi) sebegini. Inisiatif Cikgu Awang ini sehingga dapat mengumpulkan penulis dalam medium dan SOP baharu, dan saya akan terus menyokong usaha murni beliau (dalam mengembangkan kesusasteraan) ini.\u201d\nMajlis pada pagi Jumaat itu dimulai dengan ucapan Ketua Satu PPK, Haji Wan A. Rafar. Beliau mengucapkan tahniah kepada penyair asal Kelantan dan kini menetap di Terengganu, Awang Abdullah, yang berjaya mengumpulkan puisi daripada otai-otai penyair. \u201cUsaha ini bukan senang kerana sesetengahnya sudah bersara, lama tidak berkarya atau mengalami writer\u2019s block.\u201d\nMajlis setrusnya dimeriahkan dengan acara deklamasi dan baca puisi. Juara Kebangsaan, Maroof Seman dan Tengku Anizan Tengku Ibrahim tampil membuka persembahan dengan mendeklamasikan puisi berjudul \u201cDesir III\u201d karya Marzuki Ali. Erney Putri Ali mendeklamasikan sajaknya yang berjudul \u201cBicara Hati\u201d. Awang Abdullah pula dengan sajak tiga bahasa berjudul \u201cKeluarga Malaysia\u201d dan Ezane Haji Daud menyampaikan sajak bertajuk \u201cMengenang Jebat dari Naskhah Sejarah\u201d. Penyair lain yang turut tampil membuat persembahan ialah Che Jamilah A. Rahman, dan Chu E Liang.\nSegmen kedua pula menyaksikan persembahan unik dalam kalangan peserta. Wee Soo Lian dan Sujata Wee berduet mendeklamasikan sajak berjudul \u201cPancang\u201d karya A. Aziz Deraman. Meriam Awang Lah menyampaikan tiga rangkap pantun budi dan diikuti dengan dua rangkap syair irama tradisi Tok Kenali. Zarir Ali pula bermula dengan fragmen yang dipetik daripada filem Anakku Sazali sebelum mendeklamasikan sebuah sajak. Abham TR menyampaikan sajak beliau berjudul \u201cGaris-garis\u201d. Anuar Musa tampil dengan ucapan ringkas, diikuti oleh Zainal Abidin Muhamad yang menyampaikan sajak \u201cTopeng\u201d nukilan Mukhtar Mustafa, dan Darma Mohammad mempersembahkan sajak \u201cHujan\u201d.\nProgram ini menampilkan kejutan apabila ada hadiah misteri diberikan kepada tiga persembahan terbaik oleh tiga juri yang dirahsiakan pada awalnya. Kamarulzaman Ismail, Ketua Satu Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) telah menghakimi kumpulan persembahan bagi segmen satu dan beliau telah memilih pasangan deklamasi Maroof Seman dan Tengku Anizan sebagai persembahan terbaik daripada segmen satu. Muhamad Ikhram Fadhly Hussin (DBPWT) pula mengadili persembahan bagi segmen kedua. Beliau telah memilih Wee Soo Lian dan Sujata Wee sebagai penerima hadiah bagi persembahan terbaik. Dato\u2019 Shafein Mamat pula diberi penghormatan untuk memilih satu persembahan terbaik daripada kedua-dua segmen dan Erny Puteri Ali dipilih sebagai pemenang. Semua pendeklamasi menerima cenderamata buku daripada pihak DBP Wilayah Timur.\nAntara tetamu yang tampil mendeklamasikan sajak ialah Dato\u2019 Shafein Mamat, Dato\u2019 A. Aziz Deraman, dan Wan A. Rafar. Persembahan kemuncak oleh tetamu istimewa Sabri Yunus, pelakon dan pengarah drama TV terkenal, mempersembahkan sebuah sajak satira dalam dialek Kelantan.\nAbdul Hadi Yusoff, Setiausaha PPK selaku pengacara majlis, turut mempersembahkan sebuah pantun jenaka dalam dialek Kelantan. Program yang diadakan di Perpustakaan Awam Islam dar Nur al-Zahra, Kota Bharu ini diadakan pada 31 Disember 2021, dihadiri oleh lebih 60 orang penulis Kelantan dan Terengganu." "Malam Puisi Kemanusiaan: Lantunan Suara Hati Pejuang Barisan Hadapan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cMalam ini kami mahu membuat satu closure, satu penutupan bagi semua gelora, bagi semua kesusahan, kesengsaraan dan kepayahan yang telah kita hadapi bersama-sama pada tahun 2021. Dan dalam masa yang sama, kami juga mahu mengumpul kekuatan untuk tahun hadapan supaya kita semua lebih kukuh menjadi satu kumpulan atau kelompok masyarakat yang lebih dinamik dan lebih kuat dalam mendepani sebarang cabaran.\u201d\nBegitulah harapan Yang Berbahagia Datuk Dr. Alzamani Mohammad Idrose, pakar perubatan kecemasan dan trauma, Hospital Kuala Lumpur yang juga bertindak sebagai pengerusi majlis Malam Puisi Kemanusiaan 2021 anjuran College of Emergency Physicians, dengan kerjasama Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur, lewat ucapan pembukaannya pada Khamis, 30 Disember 2021.\nAcara yang julung-julung kali diadakan ini dipancarkan secara dalam talian menerusi pelantar Zoom ke Facebook Alzamani Mohammad Idrose dan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Yang Berbahagia Dato\u2019 Dr. Asmayani Khalib. Malam Puisi Kemanusiaan menghimpunkan seramai 21 orang petugas kesihatan kerajaan dan swasta daripada pelbagai disiplin dan kategori dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bagi menyampaikan puisi dengan tema \u201cHidup, Mati dan Harapan\u201d. Selain itu, undangan jemputan khas di luar bidang perubatan adalah dari Angkatan Tentera Malaysia yang diwakili oleh Mejar Jeneral Datuk Mohd Nizam, Komandan National Resilience College, dari pasukan bomba yang diwakili oleh Datuk Khirudin Drahman; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Sarawak, dan juga Puan Nisah Haron, penerima Anugerah Sasterawan Muda Asia Tenggara.\nAngka 21 dipilih sebagai simbol untuk tahun 2021. Paling istimewa, penyertaan Dr. Tri Maharani, seorang pakar perubatan kecemasan dari Jakarta, Indonesia yang menjadi pemuisi yang ke-22, melambangkan peralihan tahun dari 2021 menuju ke tahun 2022. Acara ini juga telah dipanjangkan kepada Menteri Kesihatan Republik Indonesia, iaitu Budi Ganadi Sadikin, yang difahamkan mengikuti acara langsung ini sebagai tanda sokongan.\nAcara dimulakan dengan pembacaan puisi oleh Dato\u2019 Dr Asmayani Khalib dengan judul \u201cSengsara dan Harapan\u201d. Beliau membacanya dengan penuh penghayatan sehingga mengalirkan air mata. Turut menarik perhatian ialah puisi yang dibacakan oleh Dr. Malar Santhi dari Columbia Asia Hospital, Kuala Lumpur. Puisinya berjudul \u201cMerah Tetap Isinya\u201d mengangkat tema kesatuan hati dalam usaha menghulurkan bantuan tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama. Puisi \u201cBanjir Mengajar Aku\u201d yang dilantunkan oleh Dr. Nurul Laila, seorang pakar optalmologi juga sangat menyentuh perasaan. Hal ini demikian kerana Dr. Nurul Laila juga turut terkesan dengan musibah banjir yang melanda. Penutup acara ini diserikan dengan puisi yang ke-22 oleh Dr. Tri Maharani, meluahkan resah dan resanya yang terkena jangkitan COVID-19, namun harus cekal dan tabah untuk menyantuni rakyat Indonesia.\n\u201cSaya ialah survivor Covid yang diberi Tuhan kesempatan kedua untuk melayani dan mengabdi lagi menjadi seorang pelayan dalam bidang kesihatan di Indonesia,\u201d ujarnya, sejurus membacakan puisinya yang bertajuk \u201cDemi Nyawa Yang Lain\u201d.\nTuntasnya, keseluruhan puisi yang dibaca oleh para petugas kesihatan dan juga para jemputan khas yang bertindak sebagai pejuang barisan hadapan negara merupakan suatu perenungan dan peluahan emosi ketika bergelut dengan bencana pandemik, malapetaka LRT dan musibah banjir yang dihadapi sepanjang tahun 2021. Kita jarang sekali mendengar suara hati yang benar-benar mewakili ribut perasaan yang terkurung dan tersimpan di sudut hati mereka kerana kita hanya melihat sisi keperwiraan mereka di pentas dewan bedah dan wad kecemasan. Namun begitu, malam itu, suara-suara hati ini dilantunkan dan mewakili suara kemanusiaan, seperti komentar Nisah Haron pada hujung acara, \u201cKemanusiaan itu suaranya sama. Emosi yang terkawal dan terancang mampu memberikan suara yang berkesan pada masyarakat.\u201d\nSuara kemanusiaan inilah yang akan membenihkan harapan untuk meneruskan hidup dengan lebih baik pada tahun yang mendatang. Nisah Haron turut membacakan puisi \u201cDi Ruang yang Sempit\u201d karya penyair Jaafa HS, yang pernah memenangi Hadiah Sastra Malaysia 1972.\nKita mendoakan agar para doktor, jururawat, pengamal perubatan, angkatan tentera, dan bomba dirahmati dan diberikan keberkatan umur agar dapat terus memberi manfaat kepada orang lain. Mudah-mudahan acara Malam Puisi Kemanusiaan dapat menjadi penutup tahun 2021 yang hangat untuk menyemarakkan api harapan yang lebih baik untuk tahun 2022.\nTonton acara penuh Malam Puisi Kemanusiaan 2021 di sini." "Sastera Kebangsaan ialah Karya dalam Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sastera Melayu merupakan asas kepada sastera kebangsaan, yang juga diibaratkan sebagai sebatang sungai besar, manakala sastera sukuan merupakan sungai kecil yang mengalir masuk dan bergabung dengannya.\nWalau bagaimanapun, kurangnya usaha untuk menterjemahkan sastera bukan berbahasa Melayu di Malaysia menjadikannya seakan-akan terpisah dan dicurigai.\nHal ini ditegaskan oleh Presiden Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF), Datuk Goh Hin San dalam Forum Bahasa dan Sastera Pelbagai Kaum Siri 3: Bahasa dan Sastera Milik Bersama yang turut menampilkan Tan Sri Prof Abdul Latif Abu Bakar dan Dr. Krishanan Maniam. Forum dimudahcarakan oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Abang Patdeli Abang Muhi.\n\u201cSekitar 31 Mei 1983, terdapat pertemuan penulis pelbagai kaum diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Ia memperjelaskan besarnya peranan sastera dan pengakuan semua penulis pelbagai kaum bahawa sastera kebangsaan itu ialah sastera yang ditulis dalam bahasa Melayu.\n\u201cSastera lain seperti Mahua atau Tamil ialah sastera sukuan namun perlu sama-sama dipertingkatkan dan tidak boleh dipinggirkan kerana ia ditulis oleh orang Malaysia dan bercerita mengenai negara ini.\n\u201cApa yang berlaku ialah kurangnya kerja-kerja penterjemahan karya sebegini ke dalam bahasa Melayu, menyebabkan ia tidak dapat dinikmati oleh lebih ramai pembaca,\u201d katanya.\nGoh berkata, beliau berpandangan sastera kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu sangat jelas tetapi kedudukan sastera Malaysia pula perlu dibincangkan. Hal ini kerana sastera tidak seharusnya tertumpu pada penulisan yang menggunakan bahasa kebangsaan sahaja tetapi mungkin boleh juga menerima karya yang ditulis dalam bahasa etnik.\nPandangan Goh bagaimanapun berbeza daripada Krishanan yang meletakkan sastera kebangsaan dan sastera Malaysia itu sama. Baginya, sastera kebangsaan atau Malaysia mestilah ditulis dalam bahasa Melayu dan bercerita mengenai kehidupan orang Malaysia yang berbilang kaum dan agama.\n\u201cSatu ketika dulu, ramai penulis berbangsa India menulis mengenai kehidupan orang India dan Cina dalam bahasa kebangsaan. Karya ini kita boleh sifatkan sebagai sastera kebangsaan tetapi tidak ramai penulis Melayu menulis mengenai bangsa lain dalam karya mereka.\n\u201cDulu kita mungkin ada penulis seperti Azizi Haji Abdullah (menulis mengenai bangsa lain) tetapi kini tidak ramai lagi yang berbuat demikian,\u201d katanya.\nSementara itu, Abdul Latif berkata ketika ini terdapat suara-suara dalam kalangan generasi muda terutamanya di media sosial yang mahukan sastera bukan berbahasa Melayu diangkat sebagai sastera kebangsaan atas nama demokrasi.\n\u201cIni salah faham yang besar dan akan menimbulkan kekacauan. Di negara lain misalnya China, Korea atau Jepun, sastera mereka hanya satu sedangkan kita ada pelbagai bahasa.\n\u201cJadi kita perlu sesuatu yang menyatukan, iaitu sastera berbahasa Melayu, manakala sastera lain ialah sastera pelbagai kaum yang tidak kita ketepikan. Sebaliknya ia perlu dipertingkatkan dan diperjuangkan bersama-sama,\u201d katanya.\nTegasnya, apa yang berlaku ialah ketidakfahaman masyarakat terhadap konsep sastera kebangsaan sehingga menyebabkan muncul suara seperti itu.\nTonton forum penuh di sini." "Novelis Terkemuka Filipina Meninggal Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNovelis terkemuka Filipina, Francisco Sionil Jose, meninggal dunia semalam pada usia 97 tahun di Makati Medical Center, Manila, lokasi beliau dijadualkan menjalani prosedur angioplasti pada 7 Januari.\nPemergiannya itu disahkan oleh Philippine Center of International Poets, Essayists, Novelists (PEN) dalam satu kenyataan di laman Facebook.\nJose dilahirkan pada 3 Disember 1924 di Pangasinan, wilayah miskin di utara Filipina ketika negara itu dijajah Amerika. Bapanya bertugas di gereja, manakala ibunya tukang jahit. Sebagai penulis, Jose dikatakan sangat dipengaruhi Jose Rizal. Hal itu mungkin memberikan inspirasi terbesar dalam kepengarangannya apabila kebanyakan karya beliau berkisar mengenai pengalaman menyakitkan dan ketidakadilan yang dialami oleh negara-negara Asia Tenggara pada era kolonialisme.\nSehingga kematiannya, karya Jose sudah diterjemahkan ke dalam lebih 20 bahasa dan merupakan pengarang Filipina yang karyanya paling banyak diterjemahkan.\nJose, bekas wartawan Manila Times pernah bertugas di majalah Asia yang berpangkalan di Hong Kong sekitar 1960 sebelum kembali ke Filipina dan membuka kedai buku, Solidaridad. Kedai itu merupakan lokasi kelompok penulis berkumpul dan berbincang mengenai isu sosial. Malah, selepas tertubuhnya PEN International Filipina, Solidaridad dijadikan sebagai ibu pejabat.\nSepanjang kerjaya penulisannya, Jose menghasilkan sedozen novel selain beberapa koleksi cerpen dan esei.\nDi negara asalnya, Jose dikenali dengan nama \u201cManong Frankie\u201d atau \u201cOld Man Frankie\u201d. Beliau kerap dikritik kerana sikapnya yang berterus-terang, mencemuh dan mencarut. Malah pada tahun 2015, Jose dicap rasis dan fanatik selepas mengeluarkan kenyataan penduduk etnik Cina Filipina tidak boleh dipercayai jika konflik meletus dengan Beijing.\nBeliau dinamakan sebagai Seniman Kebangsaan untuk Kesusasteraan pada tahun 2001, anugerah tertinggi yang diberikan oleh kerajaan Filipina kepada penulisnya. Sebelum itu pada tahun 1980, Jose memenangi Anugerah Ramon Magsaysay yang setara dengan Hadiah Nobel di rantau Asia \u2013 namun enggan menerimanya." "Antologi Puisi Citra Yang Tak Padam Jadi Tanda Penghargaan Jasa New Sabah Times\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKeningau \u2013 Buku antologi puisi Citra Yang Tak Padam yang diterbitkan oleh Narangkai Publications ialah penghargaan untuk New Sabah Times (NST). Antologi ini bertujuan untuk menghargai penat lelah dan jerih payah yang terpaksa dilalui oleh satu-satunya akhbar yang ada di Negeri di Bawah Bayu, Sabah, yang terpaksa menutup operasinya pada 31 Disember 2020.\nMenurut Mantan Ketua Editor, Bahagian Bahasa Melayu NST, Haji Mohd Amin Haji Muin, sejak 30 Disember 2020, penyelenggara antologi, iaitu Gabriel Kimjuan yang merupakan Aktivis Susastera Muda Zon Wilayah Persekutuan Labuan, berusaha mengumpul beberapa karya hanya untuk dijadikan buku zine melalui kumpulan WhatsApp.\nJelasnya, kerana sambutan di luar jangkaan dan amat menggalakkan daripada para penulis (Malaysia dan Indonesia), maka dapatlah beliau mengumpul lebih 105 penyertaan puisi untuk dimuatkan dalam antologi ini.\nBeliau menjelaskan bahawa Gabriel Kimjuan bersama-sama Kolumnis Sastera NST, Yatim Ahmad, turut merakamkan sekalung apresiasi seindah budi kepada Mantan Ketua Editor, Bahagian Bahasa Melayu NST, Haji Mohd Amin Haji Muin atas khidmat bakti beliau yang mengemudi hala tuju NST yang telah melebihi tujuh dekad.\n\u201cSelama 20 tahun terakhir NST sejak tahun 1998 hingga 2020 beroperasi daripada rentetan penubuhannya sejak tahun 1949, bidang kesusasteraan menjadi sebahagian ruang yang penting untuk pengkarya seni kreatif menulis dalam akhbar ini,\u201d ujarnya.\nTambahnya, perkara itu turut menyemarakkan kesusasteraan peringkat negeri dan negara. Paling manis, NST turut merancakkan ruang pengkaryaan sastera dengan menganjurkan sayembara NST dengan kerjasama Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Universiti Malaysia Sabah (UMS), dan Persatuan Penulis Momogun Malaysia (Momogunsia).\n\u201cLebih membanggakan lagi, terdapat karya sastera yang tersiar dalam NST pernah menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), manakala pada peringkat negeri pula menerusi Zalila Isa, iaitu Hadiah Sastera dan Media Negeri Sembilan pada tahun 2017,\u201d katanya..\nBeliau memberitahu, gabungan tenaga antara Gabriel Kimjuan dengan Yatim Ahmad banyak memberikan peluang kepada penulis baharu, sama ada penulis Sabah atau dari luar negeri. Hal ini menjadikan proses mematangkan penulis banyak dilahirkan daripada NST, mengikut kaedah dan cara yang ditentukan. Sastera meranumkan perpaduan, maka NST menjadi sebahagian daripada usaha menyatukan kesusasteraan sejagat.\n\u201cSekalipun wadah pengkaryaan di NST sudah berakhir, beliau berharap agar semua penulis terus menggunakan ruang yang ada di agensi persuratkhabaran lain dan berusaha meningkatkan kualiti karya masing-masing,\u201d jelasnya..\nBeliau bagi pihak mantan pengurusan NST dan kakitangan editorial bahasa Melayu mengucapkan ribuan terima kasih kepada pelbagai pihak yang menjayakan antologi penghargaan kepada NST, khususnya Saudara Gabriel Kimjuan atas usaha murni ini. Beliau turut mendoakan agar semua penulis terus berusaha meningkatkan kualiti pengkaryaan dan selamat maju jaya." "\u201cTidak Perlu Titik Dikotomi antara Sastera dengan Sains\u201d \u2013 Khairil Idham Ismail\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 \u201cTidak perlu dijumudkan dikotomi antara bidang sastera dengan sains. Kerana bagi saya, dalam objektif kesusasteraan, hanya ada dua sahaja penilaian umumnya, iaitu apakah takah kualiti dan kesedapan sesebuah karya sastera itu,\u201d tegas Khairil Idham Ismail dalam Bicara Kluster Warisan Melayu: Doktor yang Menulis Cerpen anjuran Bitara Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia pada 5 Januari 2022 (Rabu).\nMenurut beliau juga yang merupakan seorang cerpenis dan doktor perubatan, walaupun ada garisan peranan bagi penulis kreatif yang mempunyai bidang kepakaran tersendiri, tidaklah perlu untuk menampilkan titik dikotomi sehingga menyekat keluasan perbincangan.\nPemikiran sastera sememangnya berada dalam jalur bidang ilmu yang pebagai, malah jalur kehidupan yang tidak terbatas perjalanannya. Dalam ekonomi ada sastera, dalam geografi ada sastera, malah dalam bidang kedoktoran juga ada sastera yang mempunyai gagasan bidangnya yang tersendiri.\nMenggambarkan diri beliau sebagai seorang awanama (anonymous), beliau merendah diri dan menganggap dirinya hanya sebagai seorang pelajar. Beliau secara hakikinya kini memang sedang menuntut pengajian Doktor Falsafah.\nPerjalanan pendidikan beliau bermula rancak sejak pada peringkat awal. Khairil Idham sempat berkongsi pengalaman beliau sebagai pelajar rintis yang dihantar oleh kerajaan Malaysia ke Rusia untuk mengaji bidang kedoktoran.\nDi sana juga, beliau mula menemui bibit minat dan masa depan kerjaya sebagai penulis karya kreatif. Di luar negara juga berlakunya pergaulan intelek yang melibatkan penggiat penulis secara antarabangsa. Terdapat pertemuan dan perbincangan mesra antara siswa dan mahasiswa dari Ireland, Perancis dan beberapa negara asing yang memekarkan lagi semangat beliau untuk menulis.\nCerpenis itu juga sempat berkongsi saranan dan kata-kata dorongan buat mereka yang ingin berkarya. Dalam karya kreatif, cerpen khususnya, Khairil Idham menggariskan beberapa panduan dan idea.\n\u201cIdea yang tercetus diperoleh daripada pelbagai kaedah. Pertamanya, daripada pembacaan, sama ada pembacaan akademik, bahan bacaan media, bacaan santai, malah pembacaan yang tidak berilmiah juga boleh mencetuskan idea,\u201d ujar Khairil.\nTambahnya, begitu juga pentingnya pengalaman sendiri dan pengalaman orang lain menjadi sumber idea. Kedua-dua elemen ini dapat diintegrasikan melalui satu kaedah penting untuk mencipta gagasan dan idea karya, iaitu pemerhatian.\nRumus beliau, pemerhatian yang telus dan mendalam melalui kata-kata orang, rungutan, kelakuan, dan pergerakan sekeliling jika digabungkan dengan pengalaman sendiri dan pengalaman orang lain, lalu diintegrasikan dengan kegiatan pembacaan yang meluas, akan membantu untuk mencetuskan satu idea bagi penulisan yang kuat.\n\u201cDengan menulis secara kreatif, membantu saya untuk menjadi seorang yang lebih ekspresif dan bebas untuk menjawab persoalan-persoalan yang perlu ditangani dalam kehidupan seharian.\u201d\nKhairil Idham mengharapkan penulisannya mampu memberikan impak dan mengesankan pembaca. \u201cPaling tidak, membijakkan pembaca. Selepas mereka membaca karya tulisan saya, diharapkan agar mereka dapat sesuatu yang baharu atau mengesankan,\u201d tambahnya lagi.\nSempat berkongsi lima tahap garapan penulisannya, doktor perubatan itu berkongsi proses pemikiran dan penggarapan idea apabila menulis naratif cerpen. Konstruk unik yang digarapkan oleh beliau dalam bicara ini adalah bagaimana untuk membangunkan sebuah cerpen dengan bermain masa dan jalur ruang.\nMemanipulasikan ruang dan masa dalam sebuah cerpen yang masih berpijak pada dunia nyata juga berisiko kerana had fizikal cerpen yang terbatas. Jika tidak digarapkan dengan kukuh dan kuat, akan terpapar gaya yang terlalu mencuba-cuba, meletihkan dan memberikan gambaran buruk buat pembaca.\n\u201cCeritanya akan jadi kucar-kacir dan tidak sedap untuk dibaca,\u201d jelas beliau, ringkas.\nDoktor Khairil Idham Ismail menyimpulkan, untuk menjadi penulis, seseorang itu perlu untuk mula dengan apa-apa yang ada dalam diri dan membuat pemerhatian akan siapakah dirinya sendiri, bagaimanakah gerak hatinya, apakah buah fikirannya, gejolak jiwanya, dan perasaannya.\nMelalui pemerhatian terhadap pengalaman, pembacaan dan pembelajaran, sebuah idea dan gagasan juga akan dapat dicetuskan. Tambahnya lagi, \u201cMula dengan matlamat kecil berbanding dengan matlamat besar.\u201d\nJika ditanya bilakah waktu yang sesuai untuk bermula, beliau menjawab, \u201cSemalam, jika bukan sekarang.\u201d" "Program Lentera Puisi Nyalakan Silaturahim Tiga Negara Nusantara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSingapura \u2013 Edisi keenam program Lentera Puisi anjuran Persadaku.Org berjaya mengumpulkan 46 orang pemuisi dari Malaysia, Indonesia dan Singapura dalam misi menobatkan genre puisi ke tahap yang lebih tinggi.\nMajlis deklamasi puisi ini merupakan kesinambungan daripada acara yang diadakan sejak tahun 2013 di Singapura. Majlis ini menampilkan para penyair, penyanyi lagu berpuisi dan pemuzik undangan yang terdiri daripada sembilan peserta dari Malaysia, 17 peserta dari Indonesia dan 20 peserta dari Singapura. Acara ini direalisasikan secara santai, mesra dan menghiburkan pada 8 Januari 2022, petang Sabtu lalu selama lebih empat jam menerusi aplikasi Zoom.\nMenurut Pengerusi, Jawatankuasa Penyelenggara dan Deklamasi Puisi, Yahya Hamid, Lentera Puisi VI kali ini diselenggarakan oleh Persadaku.Org, iaitu sebuah organisasi yang telah terdaftar dengan ACRA atau Accounting and Corporate Regulatiry Authority, badan berkanun Pemerintah Singapura.\n\u201cAcara kali ini bertemakan \u2018Nyata di Maya\u2019 yang dipersembahkan melalui rakaman video dan persembahan secara langsung di pelantar Zoom,\u201d kata Yahya.\nUjar Yahya lagi, program itu membuka peluang kepada semua lapisan masyarakat yang menggemari puisi tanpa mengira latar belakang atau pengalaman mereka untuk bersama-sama menyertai acara itu.\nPeserta dari Malaysia termasuk Adi Cakrawala, Umar Uzair, Harlym Yeo, Shirley Idris, Wan Eidalafua, Siti Robiah Ismail, Rohaidah Yon, Rosnah Sutaman, dan Dr. Zainatul Shuhaida Abdull Rahman.\nMenurut Umar Uzair, sejarah beliau bersama Lentera Puisi bermula sejak siri keempat dan kelima di Singapura dan beliau tidak dapat menolak untuk turut terlibat dalam edisi keenam apabila dijemput lagi kerana ingatan tulus daripada penganjur yang tidak pernah melupakan beliau.\n\u201cSelain memberikan penghargaan terhadap persembahan kepuisian, penglibatan dalam acara ini saya sifatkan sebagai satu cara menjambatani hubungan negara Nusantara dan memperkenalkan senimannya dalam sebuah acara kesusasteraan,\u201d katanya, yang berkongsi persembahan lagu dan puisi karya sendiri yang dipetik daripada kumpulan puisi Pesta di Padang Jiwa (ITBM, 2015) berjudul Demi Kesilapan Tenunganku, Maafkanlah, yang dimuatkan dalam album kedua beliau terbitan Meja Poedjangga, Hasrat Sang Enggang (2020).\nHarapan beliau agar lebih ramai seniman belia ditampilkan dalam Lentera Puisi. Beliau juga berharap agar acara itu terus dihidupkan supaya penyatuan yang telah ada akan sentiasa menyala.\nTerlibat sama dalam persembahan deklamasi puisi ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA, dan juga Exco PEMUISI, Dr. Zainatul Shuhaida Abdull Rahman.\n\u201cTujuan saya menyertai program ini adalah untuk mencari kenalan selain membentuk satu jalinan dalam jaringan antarabangsa sesama penyair di Nusantara,\u201d kata Dr. Zainatul yang mendeklamasikan sajaknya berjudul \u201cBila Ilmu Bersuara\u201d.\nMenurut beliau, para pemuisi menonjolkan sensitiviti dan keprihatinan yang mendalam terhadap isu sosiobudaya dan masyarakat yang menuju kepada satu fasa transformatif ideologi dalam penulisan dan pengkaryaan kreatif melalui platform teknologi media.\n\u201cPemerhatian saya tertumpu pada kepelbagaian isu yang diutarakan, gubahan dan karangan puisi moden yang meruntun hati dengan perbahasan-perbahasan yang relevan dengan isu mutakhir. Pengkarya menunjukkan konsistensi dalam amalan penulisan sebagai \u2018journalism citizen\u2019 bagi menyemarakkan lagi jalinan hubungan antarabangsa ini,\u201d jelas beliau.\nMenurut Rohaidah Yon, seorang guru dari Batu Pahat, tujuan beliau mengambil bahagian dalam program itu adalah untuk sama-sama menzahirkan rasa cinta dan kasih kepada bahasa dan sastera.\n\u201cSebagai negara serumpun, melalui pembacaan puisi ini saya juga dapat mengeratkan silaturahim, di samping mengenali tokoh-tokoh penyair yang hebat dari negara-negara yang mengambil bahagian,\u201d kata beliau yang mendeklamasikan puisi sendiri berjudul \u201cLokomotif Kehidupan\u201d.\nSementara Indonesia pula diwakili oleh Mosthamir Thalib, Dr Muchid Albintani, Jodhi Yudono, Syarifuddin Arifin Dua, Kazzaini Ks, Dr Aris Ariff Mundayat, Susanty Susan Martha Putri, Lily Siti Multatuliana SutanIskandar, Dr Yuhastina Naina, Dr Irma Rachmawati Maruf, Amarty Azzahra, Ferry Curtis, dan Asrizal Nur.\nAsrizal Nur merupakan Pemimpin Perkumpulan Rumah Seni Asnur (PERRUAS) yang turut membaca puisi sendiri berjudul \u201cTaman Teduh Itu Jakarta\u201d pada acara itu. Beliau memuji penganjuran program itu dan menganggapnya sangat baik untuk iklim kesusasteraan memandangkan Indonesia, Singapura dan Malaysia negara serumpun.\n\u201cPuisi menjadi sarana pemersatu antarabangsa kerana sebenarnya, sebagai negeri serumpun, umpama air tak putus dicencang,\u201d kata beliau.\nHarapan beliau agar acara seperti itu turut membabitkan negara jiran seperti Brunei Darussalam, Thailand dan negara serumpun lainnya.\nAntara peserta tetap yang hampir setiap tahun mengambil bahagian dalam acara Lentera Puisi sejak tahun 2013 ialah Lily Siti Multatuliana SutanIskandar. Lily yang berasal dari Bogor, Jawa Barat, Indonesia, mendeklamasikan puisi sendiri berjudul \u201cKelok Sembilan\u201d.\n\u201cSaya berasa senang sekali dapat mengambil bahagian dalam acara ini kerana dapat berjumpa teman-teman yang sudah lama tak ketemu walaupun kali ini cuma melalui alam maya,\u201d kata Lily.\nBeliau menjelaskan walaupun pada tahun 2017, beliau sudah menetap di Jakarta tetapi masih datang ke Singapura untuk ikut hadir dalam acara Lentera Puisi ketika itu.\n\u201cSelama enam kali diadakan, saya pernah sekali sahaja tidak hadir kerana ada halangan atas urusan keluarga. Jadi, istimewanya kali ini kerana diadakan secara maya. Walau dalam keterbatasan apa pun, kita tetap masih boleh berjumpa dan baca puisi,\u201d ujar beliau yang berharap agar keadaan pandemik ini segera berakhir dan program bersemuka boleh diadakan dengan lebih kerap.\nSingapura pula diwakili oleh Suratman Markasan, Maarof Salleh, Eunos Asah, Rohman Munasip, Chairul Fahmy, Abdul Rahim Omar, Khalid Bin Zainul, Samsudin Said, Hamed Ismail, Az Shariff, Mohd Khair Mohd Yasin, Herman Rothman, Cg Karmin, Anie Din, Sam Sumadi dan Ratnasam Sib II, Amnah Majid, Khaziah Bte Yem, Nordita Taib, Faridah Taib, dan Hartinah Ahmad.\nPasangan suami isteri Sam Sumadi dan Ratnasam Sib II yang mendendangkan lagu puisi Larut dan Jiwa karya Ratnasam Sib II telah dua kali berturut-turut mengambil bahagian.\nMenurut pengelola yang juga pengacara majlis, Yahya Hamid, semenjak awal lagi beliau ingin menyediakan suatu wadah untuk para pemuisi atau sesiapa yang berminat untuk mendeklamasi puisi.\n\u201cMatlamat saya hanyalah memartabatkan bahasa dan sastera Melayu, meskipun saya sendiri bukan pakar dalam bidang tersebut. Ke depannya, saya akan meningkatkan usaha melibatkan lebih ramai anak muda melibatkan diri dalam sastera Melayu umumnya, dan puisi Melayu khususnya. Keunikan puisi Melayu ialah puisinya dapat dideklamasikan dengan penuh jiwa dan penghayatan, tidak seperti halnya dengan puisi bahasa-bahasa lain,\u201d jelas beliau." "Kias dan Ibarat Melahirkan Sastera Melayu yang Kaya, Kreatif dan Imaginatif\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sama ada digunakan sebagai perbandingan, sindiran mahupun pertentangan, kias dan ibarat merupakan ciri utama dalam disiplin ilmu kesusasteraan Melayu. Menurut YBhg. Dr. Hazami bin Jahari, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sastera itu sendiri tercipta dengan adanya kiasan dan ibarat.\n\u201cYang menjadikannya \u2018sastera\u2019 ialah kiasan-kiasan yang tergarap di dalamnya, sama ada ia diciptakan oleh pemikir-pemikir zaman dahulu, mahupun kiasan yang terbentuk daripada penulis dan pemikir moden.\u201d Kenyataan ini disampaikan oleh beliau melalui Kuliah Penyelidikan Sastera Melayu (KUPAS) pada 12 Januari 2022 (Rabu), yang membicarakan topik \u201cKias Ibarat dalam Sastera Melayu\u201d.\nUjarnya lagi, asas keindahan dan estetika karya sastera Melayu itu sendiri terletak pada kiasan atau bahasa perlambangannya, yang melibatkan akar budaya yang jauh melangkau generasinya.\nDr. Hazami membicarakan hal kias dan ibarat secara menyeluruh dan merangkup hal-hal utama disiplin ilmu itu, bermula daripada kaedah pemikiran Melayu yang menghasilkan pemikiran kias dan ibarat itu sendiri, sebelum menyentuh konsep umum kias ibarat, mencirikan secara terperinci konsep kias ibarat serta jenis-jenis kias dan ibarat.\nUmumnya, estetika sastera Melayu memang dipengaruhi dan dibentuk oleh cara berfikir dan berkomunikasi orang Melayu itu sendiri. Maka, Dr. Hazami berkongsi kepada pendengar dan penonton empat cara pemikiran Melayu, seperti yang dipetik daripada kajian Hassan Ahmad.\n\u201cPemikiran ini harus menjadi faktor budaya masyarakat Melayu yang berkias dan berperlambangan dalam menyampaikan pemikiran,\u201d ujarnya.\nPertamanya, pemikiran teologis-rasional, khususnya untuk menjelaskan perbahasan akidah, iaitu teologi berdasarkan wahyu dan hadis umat Islam dengan menggunakan hujah akal. Manakala pemikiran alegorikal pula adalah untuk menyampaikan sesuatu konsep yang abstrak dan kompleks. Terutamanya dalam hal ontologi dan kewujudan. Hal ini dapat menjelaskan perkara yang abstrak, dan kaedah ini banyak digunakan dalam karya Hamzah Fansuri.\nManakala yang ketiga ialah pemikiran analogis, yang memaparkan keupayaan untuk menggunakan perumpamaan, kiasan, tamsil, ibarat, dan teknik ironi. Hal ini meliputi pantun, peribahasa dan pepatah. \u201cPemikiran analogis ini yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang sentiasa produktif, hidup, dinamik, dan bertenaga,\u201d jelas Dr. Hazami.\nKeempat, kaedah pemikiran pragmatik pula merupakan suatu usaha orang Melayu untuk mencipta makna melalui lambang atau tanda dalam teks bertulis mahupun komunikasi interaktif. Kaedah ini banyak terdapat dalam perumpamaan dan pepatah. Perumpamaan dan pepatah sering kali tercipta melalui konstruksi sosial yang mengkaji cara manusia mencipta makna berdasarkan konteks.\nMenurut Dr. Hazami lagi, penutur bahasa Melayu sering membuat perbandingan dan rujukan pada perkara lain untuk menyatakan dan menjelaskan sesautu keadaan atau perlakuan, agar mudah difahami oleh orang lain dengan lebih jelas.\nManakala dalam struktur budaya penulisan orang Melayu, pemikiran sebegini lebih jelas dan terang penggunaannya. \u201cSastera Melayu mempamerkan penghasilan dan penggunaan kias dan ibarat yang kaya, kreatif serta imaginatif untuk menyampaikan pemikiran,\u201d terang beliau.\nTegasnya lagi, kias dan ibarat mempunyai satu penekanan khusus, iaitu dalam unsur nilai budi dan pengajaran. \u201cPenciptaan kias ini harus ada unsur pendidikan, teladan dan nasihat, manakala perkataan dan unsur yang kasar serta tidak enak pula wajar dihindari. Inilah perbezaan antara kias ibarat dengan metafora.\u201d Bagi konsep metafora, ia tidak terikat dengan pendidikan, nilai moral mahupun kebudian dan kesantunan bahasa.\nSeterusnya, Dr. Hazami membariskan lagi empat ciri utama kias dan ibarat. Satunya, kias ibarat tidak boleh dikandungi perkataan atau unsur yang jijik, kasar dan tidak enak. Pilihan diksinya hendaklah indah dan ada nilai estetika.\nKemudian, penyampaiannya pula hendaklah tepat, bermaksud, dengan pemilihan objek atau imej perkara yang dikiaskan harus tepat dengan maksud yang hendak disampaikan. Begitu juga dengan kehalusan budi yang harus dipaparkan, selaras dengan tujuan kias dan ibarat itu sendiri untuk meningkatkan ketinggian budi penuturnya. Tujuan yang sama itu juga menjadi faktor mengapa harusnya kias dan ibarat mempunyai nilai dan pengajaran.\nSalah satu tujuan utama kias dan ibarat adalah untuk menajamkan makna dalam menyampaikan pemikiran. Dr. Hazami sempat memetik kenyataan Za\u2019ba, \u201cia seolah-olah menambah terang sesuatu maksud. Dengan bandingan itu menjadi seolah-olah lukisan gambar.\u201d\nSelain itu, peranan kias dan ibarat adalah untuk mencipta dan membina ungkapan baharu. Dengan penuturan serta penciptaan kias dan ibarat pemikir hari ini, rangkap itu akan dirakamkan dan menjadi sebahagian daripada binaan kosa kata bangsa generasi hadapannya.\nBicara yang diadakan di bawah Kuliah Penyelidikan Sastera, KUPAS, merupakan inisiatif anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera di bawah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP. Saifullizan Yahaya, Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera merangkap pengemudi program KUPAS menyuarakan harapan agar program ini akan dapat membantu khalayak menghayati sastera dengan lebih mudah dan mendalam.\n\u201cKUPAS akan membawa para penonton untuk sama-sama melihat hasil kajian sastera tempatan, merangkumi pelbagai genre dan lapisan dalam bidang sastera itu sendiri, malah akan kami bawa juga perihal teori dan kritikan sastera.\u201d\n\u201cDiharapkan inisiatif ini akan membantu masyarakat untuk menghayati sastera yang saling selari dengan media baharu,\u201d tambah Saifullizan.\n\nTonton KUPAS di sini." "Hadiah Deklamasi Puisi Sedunia Motivational Strips Membina Insan Kreatif Sedari Prasekolah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMajlis Pengisytiharan Hadiah Deklamasi Puisi Sedunia anjuran bersama forum gergasi dunia Motivational Strips (MS) dan Soundarya Educational Trust (SET) telah berlangsung secara maya melalui pelantar Google Meet pada 14 Januari 2022, waktu tempatan 7.00 malam. Majlis yang disiarkan secara langsung dari akaun Facebook Institusi Pendidikan Soundarya yang berpengkalan di Bengaluru (Bangalore), India, disaksikan oleh penulis dari 167 negara yang menjadi anggota keluarga Motivational Strips.\nSuatu kebanggaan kepada penulis Malaysia apabila YBhg.Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan selaku Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka mendapat penghormatan untuk menyampaikan ucaptama dan seterusnya mengumumkan nama-nama pemenang bagi kategori antarabangsa bersama-sama penyair Padmaja Iyengar, Presiden Connecting Across Borders (CAB) dan Editor Penasihat untuk Jurnal Penulis Antarabangsa dari Amerika Syarikat, dan Dr.Vishnu Pandya, Pengerusi Gujerat Sahitya Academy. \nMajlis Pengisytiharan Hadiah Deklamasi Puisi Sedunia 2022 ini mengumumkan lapan pendeklamasi cilik dan remaja terbaik daripada senarai 25 peserta yang terpilih ke peringkat separuh akhir daripada 100 penyertaan daripada 101 buah sekolah dari serata dunia yang melabuhkan tirai pendaftaran untuk sayembara ini pada 25 November 2021.\nSayembara deklamasi puisi sedunia ini agak berbeza daripada sayembara yang lazim dilaksanakan kerana memberikan keutamaan kepada warga cilik dan remaja yang berusia antara lapan tahun hingga 16 tahun. Tema sayembara \u201cSuburkan Tunas Anda\u201d (\u201cGrow Your Buds\u201d) merupakan yang julung-julung kali dianjurkan pada peringkat global dalam hayat sastera antarabangsa. Inisiatif tersebut dirintis oleh forum gergasi dunia Motivational Strips (MS) dan Soundarya Educational Trust dengan tujuan membina pewaris yang bakal menyuburkan kelangsungan hayat mandala sastera di negara mereka.\nSayembara ini menitikberatkan dua kemahiran seni yang saling melengkapi, yakni seni penciptaan puisi dan penyampaian ciptaan seni dalam bentuk deklamasi dalam penilaian markah. Kedua-dua seni, iaitu ciptaan puisi untuk media cetak atau media elektronik yang lebih dikenali sebagai puisi kertas berbeza daripada puisi yang dideklamasikan di pentas yang sinonim dengan nama puisi pentas. Seni mencipta puisi kertas dan seni mendeklamasikan puisi di pentas merupakan dua kreativiti yang menitikberatkan dua kemahiran seni yang berlainan. Memandangkan kedua-dua seni ini melengkapkan kreativiti seseorang penulis sebagai penyair dan pendeklamator, maka seni mencipta puisi kertas dan mendeklamasikannya di hadapan khalayak sebagai puisi pentas disuburkan dalam kalangan peserta cilik dan remaja dari peringkat muda lagi, bak kata pepatah Melayu \u201cMelentur buluh biarlah dari rebungnya.\u201d\nDalam sayembara ini, semua juri yang dipilih merupakan penyair yang pernah mencipta puisi dan mendeklamasikan puisi mereka di negara masing-masing. Juri dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu Ketua Juri dan Timbalan Juri. Ketua Juri terdiri daripada penyair Mary Lynn Luiz (Amerika Syarikat), penyair Penny Wobbly (England) dan penyair Raja Rajeswari Seetha Raman (Malaysia). Manakala Timbalan Juri diwakili oleh penyair Samuella Conteh (Sierra Leone) dan penyair Nivedita Roy (Bahrain) Kelima-lima juri dipilih dari lima negara berbeza agar penilaian bersifat global dan telus mengikut piawai antarabangsa. Menariknya apabila kelima-lima juri diberikan kelonggaran untuk menilai sayembara deklamasi puisi mengikut syarat dalam penilaian puisi pentas di negara mereka.\nSistem penilaian juga agak berbeza apabila aspek penilaian holistik diutamakan. Dalam konteks ini, Ketua Juri menetapkan 60% markah manakala Timbalan Juri menyumbang markah sebanyak 20%. Baki 20% markah adalah daripada Presiden Motivational Strips, penyair Shiju H. Pallithazheth (Oman) dan Pengarah forum MS, Sabrina Bryant (Amerika Syarikat) sebanyak 10% dan baki 10% lagi adalah daripada penyair Motivational Strips dari 167 negara. Video deklamasi puisi dimuat naik di Facebook forum Motivational Strips dengan tanda pagar (#) Grow Your Buds. \nOleh sebab publisiti untuk sayembara ini mendapat liputan luas dalam media antarabangsa, maka penyertaan daripada peserta antarabangsa agak tinggi. Hal ini menyebabkan pihak penganjur terpaksa mengadakan dua kategori, iaitu kategori antarabangsa dan kategori tempatan. Kategori tempatan khusus untuk negara India kerana Soundarya Educational Trust dari Bengaluru merupakan rakan kolaborasi Motivational Strips dalam penganjuran sayembara peringkat global.\nPendaftaran untuk sayembara ini dibuka pada tahun 2021 selama dua minggu, yakni dari 10 November 2021 hingga 25 November 2021. Seramai 25 peserta daripada lebih 100 penyertaan yang menerima markah tertinggi tersenarai sebagai pemenang pada peringkat separuh akhir dalam dua kategori, yakni kategori antarabangsa dan kategori tempatan (India). Daripada kategori antarabangsa, seramai 14 peserta layak ke peringkat akhir, manakala daripada kategori tempatan seramai 11 peserta terpilih ke peringkat akhir.\nKategori antarabangsa untuk peringkat separuh akhir dimenangi oleh pelajar dari Sekolah Al-Ghubra Oman, Educational School Kuwait dan Ponus Ridge Middle School, Amerika Syarikat. Manakala untuk kategori tempatan, pelajar dari Study Hall School, Soundarya Central School, Air Force School, Senior Secondary School, Mountain Mary School, St.Columbus School, Memorial School, VIBGYOR High School, The Manvendra Global School, dan Montfort School terpilih ke peringkat separuh akhir.\nDaripada pemenang peringkat separuh akhir yang terdiri daripada 25 orang, seramai lapan peserta terpilih sebagai juara sayembara daripada kedua-dua kategori, yakni kategori antarabangsa dan kategori tempatan. Juara sayembara deklamasi puisi peringkat antarabangsa 2022 diungguli oleh dua peserta, iaitu Ananya MadhuBhashini (lapan tahun) dari Study Hall School India dan Sita Lakshmi Kishore dari Sekolah Al Gubra Oman dengan jumlah markah tertinggi sebanyak 98.5%. Manakala peserta lain yang turut tersenarai sebagai pemenang bagi kategori akhir terdiri daripada Sannidhi Kulkarni dari Soundarya Central School, India, Fida Ancy dari Indian Education School, Kuwait, Gouri Reghu dari Indian School Oman, Anika Govil dari Sekolah Al-Ghubra Oman, Arjunveer Singh dari Air Force School, India, dan Ryan John Samuel dari India Education School, Kuwait.\n\nMarkah peringkat separuh akhir diumumkan pada 4 Januari 2022 melalui akaun Facebook Motivational Strips, dan pada 14 Januari 2022 markah peringkat akhir diumumkan secara maya melalui pelantar Google Meet yang disaksikan secara langsung melalui akaun Facebook Soundarya Educational Trust dan Motivational Strips yang memiliki pengunjung lebih daripada 10 ribu orang.\nJuara sayembara deklamasi puisi sedunia yang dimenangi oleh dua peserta akan berkongsi wang tunai sebanyak USD400, yang disumbangkan secara ikhlas oleh Pengasas dan Presiden forum Motivational Strips sendiri, En. Shiju H. Pallithazheth daripada royalti buku paling laris beliau, Katashi Tales. Semua peserta lain akan menerima senaskhah buku Katashi Tales, piala dan sijil.\nIktibar yang boleh diambil daripada penganjuran ini menampilkan, sastera wajib dimulakan pada peringkat prasekolah atau sekolah rendah dan seni deklamasi puisi wajib diajarkan pada peringkat sekolah rendah kerana hal ini mampu mempengaruhi perkembangan kognitif, perkembangan bahasa dan emosi kanak-kanak bagi menjadikan mereka kreatif, inovatif dan produktif. Hal ini terbukti daripada pengakuan ibu bapa para pemenang bahawa anak-anak mereka telah memiliki koleksi puisi persendirian sejak berusia lapan tahun. Justeru, minat yang disuburkan pada usia mentah akan merimbun makmur sepanjang hayat.\nTuntasnya, Majlis Pengisytiharan Deklamasi Puisi Sedunia telah menyingkap tirai 2022 dengan mesej yang bermakna bahawa negara dunia telah lama mengutamakan seni sastera dalam sistem pendidikan mereka pada peringkat prasekolah lagi kerana kreativiti yang dihidupkan dalam sanubari insani bukan sahaja dapat melahirkan insan yang holistik, kreatif, inovatif, dan produktif, malah dapat menyeimbangkan emosi dan rohani mereka secara efektif.\n\nTonton acara penuh di sini." "Anak Muda Perlu Peka akan Kesantunan Berbahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNilai \u2013Penggunaan bahasa pada masa ini terutamanya penggunaan bahasa slanga dalam kalangan anak muda semakin menjadi-jadi. Bahasa slanga anak muda kini sudah mula bersalut dengan noda-noda pencemaran bahasa. Demikianlah antara kegusaran yang diluahkan oleh Encik Ahmad Fedtri Yahya, yang merupakan seorang daripada panel yang diundang dalam Rancangan Lidah Rakyat, iaitu Forum yang Indah Itu Bahasa, anjuran Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka.\nMenurut beliau, penggunaan kesantunan berbahasa perlu dipupuk dalam lingkungan masyarakat hari ini, terutama kepada generasi muda. Bagi beliau, dalam kesantunan ada keindahan yang terkandung di dalamnya. Berdasarkan pemerhatiannya, beliau bimbang dengan situasi yang melanda anak-anak muda yang semakin mengabaikan aspek kesantunan berbahasa.\nJika kita lihat pada hari ini, budak-budak atau yang berumur muda jika bersembang dengan kawan-kawannya, dalam sebaris ayat itu penuh dengan nama-nama haiwan.\nBeliau berpandangan bahawa jurang perbezaan antara generasi turut menyebabkan berlakunya kekurangan generasi pelapis yang tekun mempraktikkan keindahan berbahasa. Oleh itu, beliau berharap agar generasi muda pada hari ini perlu tekun membaca dan mendalami perihal kesantunan berbahasa.\nAmalan mempraktikkan kesantunan berbahasa ini adalah satu perjuangan dan pencinta bahasa perlu bersedia menghadapi pelbagai rintangan dan dugaan seperti tegas beliau,\u00a0 \u201cJika mahu berjuang, perlu bersedia juga menghadapi penentang\u201d.\nSesi forum pada kali ini dikendalikan sepenuhnya oleh Encik Mohd Zaini Othman, selaku moderator yang turut menampilkan Puan Fyn Jamal, iaitu seorang penceramah motivasi dan juga cukup terkenal terutamanya dalam kalangan anak muda.\nMenurut\u00a0Puan Fyn Jamal, bahasa tidak akan mempunyai nilai jika tidak diberikan makna. Beliau juga berkongsi kegusaran yang sama berkaitan dengan kedudukan semasa penggunaan kesantunan berbahasa dalam kalangan masyarakat.\nTambah beliau, ketakutan yang mengundang tekanan daripada masyarakat sekeliling yang menyebabkan sebilangan masyarakat pada hari ini menjadi takut untuk mempraktikkan kesantunan berbahasa dan menggunakan bahasa baku sehingga ada dalam kalangan mereka yang terpaksa mengambil kebiasaan dengan mempraktikkan pengunaan bahasa pada masa ini untuk menghidupkan suasana semasa berkomunikasi, yang jelas mengandungi elemen pencemaran bahasa.\nPenggunaan bahasa itu melibatkan pemilihan kata, asalkan tidak kasar dan memberikan makna kefasikan. Selain itu, mungkin juga orang tak nampak relevannya bahasa dengan sastera tetapi tanpa tukang cerita yang baik, tanpa penceritaan yang bagus, tiada sesiapa yang akan ingat akan sejarah yang terjadi pada hari ini." "Penyair Bangkit dengan Sajak Bantahan di Timbunan Balak Kepala Air\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBentong \u2013 Seniman Paksi Rakyat (Paksi) sentiasa cakna dengan bukan sahaja isu sastera budaya, tetapi juga sosial, ekonomi dan politik tanah air, lalu menzahirkan pendiriannya dengan cara berseni.\nKira-kira sebulan selepas tragedi banjir besar yang melanda banyak negeri di Semenanjung Malaysia, terutamanya Selangor dan Pahang, Paksi menunjukkan keprihatinannya dengan menganjurkan Baca Sajak Banjir Balak Kepala Air di Kampung Baru Sungai Perdak, Karak pada 16 Januari 2022 yang lalu.\nDengan kolaborasi Sherie Aljufri sebagai Penerbit Pelaksana, Jerry Tam Chin Pung (Penerbit Lokasi) dan bantuan Ahmad Nizam Hamid, kenalan Paksi dari Temerloh, acara berkenaan dijayakan bukan sahaja oleh penulis dan penyair terkenal, malah beberapa penggiat masyarakat, agensi kerajaan negeri, badan bukan kerajaan, dan orang perseorangan.\nAhli Parlimen Bentong, Wong Tack; Ahli Dewan Negeri (ADN) Ketari, Young Syefura [email\u00a0protected] dan ADN Pandamaran merangkap Ahli Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, tidak dapat hadir. Walau bagaimanapun, penganjur, peserta dan hadirin tetap bersemangat meneruskan acara.\nBerlatarkan alam sekitar merangkumi Sungai Perdak, rumah dan sisa kayu balak yang hanyut terdampar di tebing sungai tersebut, acara berjalan lancar tanpa gangguan besar. Difahamkan, longgokan kayu balak yang ada di situ sudah berkurangan berbanding dengan semasa tragedi. Begitu pun, suasananya tetap mengharukan.\nMenurut Presiden Paksi, Datuk Dinsman, pada mulanya penganjur mahu menempatkan pemuzik latar, iaitu kumpulan Kreatif Akustika bersama-sama para deklamator beraksi di atas timbunan kayu balak yang dijadikan pentas tanpa pembesar suara.\nNamun begitu, masalah teknikal membantutkan hasrat awal. Akhirnya, hanya para deklamator sahaja, kecuali sutradara veteran Yassin Salleh, tampil beraksi di atas kayu balak tersebut. Kreatif Akustika sekadar beraksi di anjung sebuah rumah yang menjadi mangsa banjir kepala air tersebut, mendendangkan lagu seperti Apokalips, Mentera Semerah Padi dan Berita Buat Kawan.\nDinsman sendiri sebelum hari acara bermula telah melaungkan berkali-kali di media sosial bahawa 16 Januari itu ialah hari kebangkitan bukan sahaja bagi para penyair Malaysia tetapi dunia yang menentang kemusnahan alam sekitar yang telah mengakibatkan pelbagai bencana buruk, khususnya tragedi banjir kepala air.\nRata-rata deklamator yang tampil menyatakan kemarahan mereka menerusi sajak terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab, dan hanya mementingkan keuntungan besar dengan kegiatan pembalakan sewenang-wenangnya.\nSelain menyampaikan ucapan alu-aluannya, Dinsman turut mendeklamasikan sebuah sajak karya sutradara veteran Yassin Salleh yang berjudul \u201cSementara Sang Jutawan Balak Terbang Bulan Madu ke Las Vegas. Sang Kuasawan Tolong Bawakan Beg Kondom dan Viagra Mereka. Sang Pedagang Fatwa dan Mantera Syurga Mengaminkan Doa Khalifahnya\u201d.\nPendeklamasian acara berkenaan dimulakan oleh Timbalan Presiden Paksi yang kini menetap di Kelantan, Kassim Muhamad dengan sajaknya \u201cDengan Puisi Aku Bersegala\u201d.\nYassin yang berhalangan mendeklamasikan sajak \u201cMaka dalam Kemarhaenan Sekaliannya Rakyat Elok-eloklah Menabur Benih Huma di Kebun Kalian. Selepas Banjir Ini Kering Jalanlah Elok-elok ke Ladang PRU15\u201d di hadapan timbunan kayu balak, ditemani oleh anak perempuannya Yasleh Rita Ayu, yang turut mendendangkan sebuah lagu puisi, Rindunya My Love.\nSherie atau nama sebenarnya Shariffah Khadijah yang juga bertindak sebagai pengacara majlis tidak ketinggalan mendeklamasikan sajaknya, \u201cMana Pohon Gadong?\u201d\nZukri Aksah dari Kuantan mendeklamasikan sajaknya \u201cTuhan Mula Marah\u201d. Anbakri Haron yang juga ahli Paksi sanggup datang dari Kota Bharu untuk mendeklamasikan sajak beliau, \u201cPuisiku Kukibar dalam Hujan\u201d.\nTidak sahaja deklamator dewasa, dua orang kanak-kanak turut bersemangat untuk beraksi. Selain Haziq Fikri dari Kampung Chemomoi yang berhampiran, turut tampil ialah Putera, cucu Dinsman sendiri.\nAcara berkenaan yang juga tiada gangguan cuaca, dilengkapkan dengan kehadiran mantan wartawan TV3 dan penggiat masyarakat, Khaidir Ahmad. Khaidir yang kini dikenali sebagai Wartawan Tua ialah anak saudara Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako. Beliau yang melihat sendiri kejadian tragedi bah tahun 2021 di Pahang, turut mendeklamasikan sajaknya, \u201cPuing-puing Air Mata Marhaen\u201d." "P. Ramlee dan Integrasi Nasional dalam Ah Fook\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan menyelidik kekuatan karya seni Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menjalinkan integrasi nasional dalam sebuah novel pemenang tentang saga sebuah keluarga Cina di Sarawak, Ah Fook. \nHal ini memperlihatkan lagu-lagu P. Ramlee menjadi media sosialisasi antara anak-anak remaja kampung tersebut. Lebih daripada itu, lagu-lagu ini menjadi pengikat rasa antara Ah Yi dengan anak Pak Saat yang berketurunan Jawa.\nNovel Ah Fook (ITBM, 2015) karya Jong Chian Lai merupakan kisah kehidupan seorang lelaki China bernama Yong Ah Fook. Novel dimulakan dengan gambaran keperitan hidup Ah Fook dan leluhurnya sejak tiga generasi di Tanah Besar China, menyebabkan Ah Fook mengharungi lautan untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Ah Fook sampai di Kepulauan Borneo, bekerja sebagai kuli di sebuah rumah agam dan berkahwin dengan seorang wanita berketurunan Cina-Melanau. Dia meneruskan kehidupan dan mempunyai 12 orang anak. Setelah bertahun-tahun bekerja keras, Ah Fook tidak berjaya melepaskan diri daripada kemiskinan.\nNovel ini menggambarkan watak Ah Fook yang sangat bangga dengan kedudukannya sebagai seorang Cina dan berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan identiti kecinaan pada dirinya dan keluarganya. Dia melarang mereka bergaul dengan orang-orang di sekeliling, apatah lagi terpengaruh dengan budaya tempatan. Ah Fook berkata kepada keluarganya bahawa bangsa itu sangat penting, malah lebih penting daripada agama, \u201cKamu lahir kerana bangsa ... kemudian baru agamanya,\u201d (2015:503).\nNamun begitu, Ah Fook dapat merasakan bahawa sikap dan pilihannya ini akan membuatnya kecewa. Novel ini seterusnya mengisahkan integrasi yang berlaku antara anak-anak Ah Fook dengan jiran-jiran dan masyarakat tempatan.\nPada pandangan Ah Fook, ada beberapa faktor yang menggalakkan integrasi dan mengecewakan hasratnya untuk mengekalkan semangat kecinaan pada diri anak-anaknya. Empat perkara yang digeruni oleh Ah Fook ialah (2015:542):\nAntara keempat-empat faktor di atas, pengarang novel ini, Jong Chian Lai, hanya memberikan tumpuan kepada faktor ketiga, iaitu pengaruh P. Ramlee. Pengarang menceritakan situasi pada tahun-tahun 1950-an dan awal 1960-an semasa anak-anak Ah Fook sedang membesar. Ketika itu, ada kereta masuk ke kampung untuk menghebahkan sesuatu pertunjukan yang dibawa masuk ke tempat itu, biasanya fun fair atau bangsawan yang akan berlangsung untuk beberapa hari. Kedatangan kereta-kereta hebahan ini membawa kemeriahan dan menggembirakan anak-anak kampung. Anak-anak akan berlari-lari keluar dengan gembiranya dari rumah masing-masing ke tepi jalan besar. Kereta yang masuk itu akan memainkan lagu P. Ramlee kerana lagu-lagunya menjadi daya penarik untuk memanggil lebih ramai penduduk, khasnya kanak-kanak untuk datang ke jalan raya serta meramaikan penonton di sesuatu pertunjukan fun fair dan bangsawan.\nJuruhebah mengumumkan \u201cFun fair main dari malam ini sampai malam minggu. Bayar masuk dua ringgit. Lekas lekas, banyak permainan, banyak persembahan. Ada nyanyian ada persembahan pentas, lakonan babak P. Ramlee.\u201d (2015:479).\nAnak-anak Ah Fook, iaitu Ah Chang, Ah Cheng, Ah Fa, Ah Gui, Ah Fang, Ah Yi, Ah Jia, Ah Wei, Ah Xiang, Ah Rong, Ah Niu, dan Ah Liu, tidak terkecuali daripada pengaruh ini, walaupun cuba dihalang oleh bapa mereka.\nSeterusnya, pengarang juga mengisahkan bagaimana filem-filem P. Ramlee mula menular ke dalam kehidupan Ah Fook dan keluarganya. Anaknya Ah Cheng membeli sebuah televisyen kecil yang memakai kuasa bateri (2015:535). Sejak ada televisyen, Ah Fook cuba pulang lebih awal untuk menonton siaran Berita Bahasa Mandarin. Kemudian, peti televisyen itu ditutup agar dapat menjimatkan tenaga bateri yang bila kehabisan, perlu dibawa ke kedai untuk dicas semula.\nPengarang menceritakan bagaimana isteri Ah Fook hanya boleh menonton seminggu sekali dan mereka memilih untuk menonton pada hari Jumaat kerana pada hari Jumaat, ada tayangan filem Melayu, khasnya filem P. Ramlee. Isteri dan anak-anak Ah Fook menunggu di depan televisyen untuk menonton filem-filem P. Ramlee. Mereka bersembang di hadapan televisyen kecil itu sambil ketawa tanpa mempedulikan jelingan tajam Ah Fook.\nPengarang novel ini menceritakan bibit-bibit awal minat anak-anak Ah Fook terhadap P. Ramlee. Jong Chian Lai menunjukkan anak-anak Ah Fook turut berlari-lari bersama anak-anak jiran, mengikuti kereta hebahan yang memainkan lagu P. Ramlee (2015:539). Digambarkan juga bagaimana anak-anak Ah Fook berebut-rebut menolak basikal apabila bapa mereka balik dari kedai, mengharapkan ada gula-gula. Bila gembira, mereka menyanyikan lagu P. Ramlee. Sebuah lagu yang disebut oleh pengarang ialah Bunga Melur.\nKedudukan dan peranan P. Ramlee dalam kehidupan masyarakat, khasnya keluarga Ah Fook diperihalkan dengan lebih terperinci dalam Bab 38. Bab ini ditumpukan kepada Ah Yi, anak ketujuh Ah Fook yang berbakat dan gemar menyanyi lagu-lagu P. Ramlee. Bab ini menggambarkan proses sosialisasi dan hubungan rasa antara para remaja di kampung itu. Ah Yi berkawan dengan jiran-jiran termasuk masyarakat Jawa, Melayu, Iban, dan anak Cina. Mereka sering memekak di tepi jalan menyanyikan lagu P. Ramlee dan Saloma (2015:594).\nHal ini memperlihatkan lagu-lagu P. Ramlee menjadi media sosialisasi antara anak-anak remaja kampung tersebut. Lebih daripada itu, lagu-lagu ini menjadi pengikat rasa antara Ah Yi dengan anak Pak Saat yang berketurunan Jawa. Ah Yi menggunakan lagu P. Ramlee dan Saloma untuk meluahkan perasaan terhadap gadis pujaannya. Pengarang menggambarkan Ah Yi sering menyanyikan lagu Kalau Jodoh Tak Ke Mana dengan suaranya yang merdu sambil memetik gitar murah yang dibeli dengan gaji pertamanya sebagai buruh (2015:594). Kemerduan suara Ah Yi menyebabkan adik-adiknya semakin meminati lagu-lagu P. Ramlee dan turut menghafal seni katanya.\nSuara Ah Yi berkumandang di kebun getah, lalu \u201cmenyusup ke rumah Pak Saat dan meresap dalam sanubari kekasihnya yang terbaring sambil membayangkan wajah Ah Yi. Semuanya sepi seolah-olah mendengar alunan kemerduan suara itu\u201d (2015:595).\nMinat Ah Yi terus diceritakan: \u201ctengah malam nanti barulah Ah Yi pulang selepas pertemuan dengan pacarnya. Siulan lagu P. Ramlee tidak lekang dari mulut itu sekalipun sudah merebahkan tubuhnya.\u201d (2015:655).\nPada tahap ini, ada perkembangan yang menarik pada diri Ah Fook. Beliau yang selama ini melarang keras anak-anaknya menyukai lagu-lagu Melayu diperlihatkan mula memberikan perhatian kepada nyanyian Ah Yi. Ah Fook tidak dapat menafikan kemerduan suara anaknya itu, walaupun beliau sesekali bersungut \u201cItu cara orang Melayu memikat perempuan. Cara P. Ramlee. kalau nyanyi sahaja, mesti ada perempuan terpikat.\u201d (2015:96).\nLagu-lagu P. Ramlee menjalinkan hubungan cinta antara Ah Yi dengan anak Pak Saat sehingga Ah Yi menjadi anak Ah Fook yang pertama memeluk agama Islam dan berkahwin dengan gadis berketurunan Melayu-Jawa itu.\nPerkembangan ini tidak dapat dibendung oleh Ah Fook dan dia berkata, \u201cAku tak mampu halang mereka, terpulanglah pada anak-anak mencorakkan kehidupan masing-masing. Mereka dah besar tidak perlukan seorang bapa lagi.\u201d (2015:655). Pengarang menulis, \u201cKali ini, Ah Fook seperti tidak dapat mempertahankan kelangsungan anaknya untuk membawa lagu P. Ramlee dalam kehidupannya.\u201d (ibid.:601). Seperti itulah juga Ah Fook tidak dapat membendung proses integrasi nasional yang sedang berlaku.\nAh Fook ialah pemenang tempat pertama Sayembara Penulisan II ITBM-PENA-BH (2014) kategori novel. Novel ini boleh dibeli di sini.\n_________________________\nSasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan dilahirkan di Bakar Bata, Alor Setar, Kedah pada 13 Jun 1949. Beliau telah menghasilkan banyak kumpulan puisi perseorangan, termasuk Sesayup Jalan (Penerbit USM, 1974), Di Sini Tiada Perhentian (Pewarna, 1977), Keberangkatan (DBP, 1985), Kuala Lumpur and Other Places (Al-Huda, 1988), Pujangga Tidak Bernama (DBP, 1994), Pesanan dari Gunung Ledang/A Message from Mount Ledang (DBP, 2004), Salasilah (DBP, 2005), Menghadap ke Pelabuhan/Facing the Harbour (ITBM, 2010), Cerita dalam Cerita (ITBM, 2014), dan Menunggu Pesawat (DBP, 2021). Zurinah Hassan turut melahirkan beberapa cerpen yang sudah dibukukan dalam kumpulan cerpen Meneruskan Perjalanan (DBP, 1987) dan Menjelang Pemilihan (DBP, 2004). Di samping itu, beliau telah menghasilkan sebuah novel remaja, Hatimu Aisyah (DBP, 1991) dan beberapa buku kajian sastera. Selain menerima Anugerah Sastera Negara pada tahun 2015, Zurinah telah menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) di Thailand pada tahun 2004 dan penyair Malaysia yang pertama menerima Anugerah Sunthorn Phu pada tahun 2013 sebagai pengiktirafan penyair cemerlang ASEAN." "Kebangkitan Angkatan 45 dalam Kesusasteraan Indonesia Moden\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKhairol Anuar melihat kembali kebangkitan karyawan dan sasterawan Angkatan 45 di Indonesia dan mengapa kemunculan mereka ketika di ambang kemerdekaan amat penting dalam sejarah kesusasteraan Indonesia dan negara jirannya.\nSememangnya, Pejabat Pusat Kebudayaan Keimin Bunka Shidoso yang berdiri di Jakarta ketika zaman pendudukan Jepun itu merupakan tempat pertemuan para sasterawan, dramawan, budayawan, dan para pelukis untuk berkarya, bertukar-tukar fikiran, selain melalui sesi pembelajaran yang menyemarakkan perkembangan kesusasteraan dan kebudayaan Indonesia.\nEra Angkatan 45 memiliki gagasan dan estetika yang tersendiri dalam menyemarakkan perkembangan kesusasteraan Indonesia moden, malah impaknya masih juga terasa, walaupun di Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam. Kemunculannya telah menempuh beberapa revolusi politik, ekonomi dan sosial yang sekali gus meninggalkan kesan terhadap perkembangan kesusasteraan Indonesia moden. Cetusannya bermula sewaktu bangsa Indonesia sedang berjuang pada era kemuncak memerdekakan negaranya, khususnya ketika Proklamasi Kemerdekaan pada 17 Ogos 1945. Penubuhannya sendiri merupakan suatu reaksi penolakan terhadap penubuhan angkatan-angkatan kesusasteraan Indonesia pada tahun-tahun sebelumnya.\nEra Revolusi 45 menyaksikan generasi sasterawan Indonesia yang terlibat dalam gerakan kemerdekaan di Indonesia meneruskan pembangunan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Indonesia. Secara khusus, arus perubahan politik yang mendadak berlaku sewaktu zaman pendudukan Jepun, ketika Perang Dunia Kedua di Indonesia yang bermula dari tahun 1942 hingga 1945. Detik inilah yang merupakan latar belakang awal kelahiran karya sastera Angkatan 45.\nPada tahun 1943, tentera Jepun telah mendirikan sebuah pusat kebudayaan yang dinamakan sebagai Keimin Bunka Shidoso. Secara umumnya, Pusat Kebudayaan Keimin Bunka Shidoso merupakan sebuah lembaga dan organisasi pembentukan pemerintahan Jepun di Indonesia. Selain itu, penubuhan pusat kebudayaan ini bertujuan untuk memartabatkan pelbagai nilai seni dan kebudayaan Jepun di Indonesia, dengan berlandaskan rancangan \u201cLingkungan Kemakmuran Besar Asia Timur\u201d dan \u201cPerang Asia Timur Raya\u201d yang dilaungkan oleh pihak Jepun untuk memerdekakan negara yang dijajah (Abdullah Zakaria Ghazali, et. al, 2000:395). Malah, penubuhan Pejabat Pusat Kebudayaan Keimin Bunka Shidoso telah menghimpunkan sejumlah seniman yang menghasilkan penulisan lirik lagu, sajak, lukisan, slogan, pementasan sandiwara, dan lakonan dalam filem yang membakar semangat perjuangan demi kepentingan imperialis Jepun yang menjanjikan masa hadapan gemilang bagi bangsa Indonesia. Jelaslah bahawa dasar propaganda imperialis Jepun di Indonesia dilaungkan dalam pelbagai tindakan drastik, seperti penghapusan sistem penjajahan Belanda dan penghapusan bahasa Belanda yang digantikan oleh bahasa Jepun (ibid.:404). Hal inilah yang memulakan bibit-bibit cetusan semangat para penulis Indonesia untuk memahami kekuatan bahasa, budaya dan sastera mereka sendiri yang baharu, dan menolak bahasa dan budaya penjajah yang sedia ada.\nSememangnya, Pejabat Pusat Kebudayaan Keimin Bunka Shidoso yang berdiri di Jakarta ketika zaman pendudukan Jepun itu merupakan tempat pertemuan para sasterawan, dramawan, budayawan, dan para pelukis untuk berkarya, bertukar-tukar fikiran, selain melalui sesi pembelajaran yang menyemarakkan perkembangan kesusasteraan dan kebudayaan Indonesia. Terdapat pelbagai bahagian ditubuhkan dalam Pertubuhan Keimin Bunka Shidoso, seperti Bahagian Kesusasteraan, Bahagian Seni Suara, Bahagian Seni Sandiwara dan Bahagian Seni Rupa. Penubuhan Bahagian Kesusasteraan pada awal tahun 1943 telah dipimpin oleh Armijn Pane bersama Sakai, iaitu penasihat dan pegawai Jepun yang digelar sebagai \u201cSidookan Jepang\u201d.\nBahagian Kesusasteraan pada masa itu ditugaskan untuk menilai hasil Sayembara Mengarang Cerpen anjuran Majalah Jawa Baru. Detik inilah yang memperkenalkan Rosihan Anwar, antara tokoh penting dalam Angkatan 45. Pada masa itu, Rosihan Anwar melibatkan diri dalam Sayembara Mengarang Cerpen tersebut kerana beliau ingin mempelajari dan menguasai keterampilan berbahasa Indonesia memandangkan beliau belajar di sekolah Belanda dan amat fasih berbahasa Belanda. Hasilnya, Rosihan berjaya memenangi tempat ketiga dalam sayembara tersebut. Lebih membanggakan, cerpennya yang bertajuk \u201cRadio Masyarakat\u201d telah diterbitkan oleh H.B Jassin dalam sebuah antologi cerpen dan puisi, Gema Tanah Air(1959). Kehebatan cerpen \u201cRadio Masyarakat\u201d telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh John M. Echols dari Universiti Cornell sebagai penyusun Antologi Kesusasteraan Indonesia Moden.\nSepanjang tahun 1943 hingga 1945 inilah, para sasterawan Indonesia bekerja keras mencipta sajak dan cerpen yang memaparkan pelbagai mesej melalui saluran media perhubungan tentera Jepun dalam kalangan para sasterawan Indonesia dengan rakyat jelata di Indonesia. Jelaslah, Gagasan Kesemakmuran Bersama Jepun, seperti \u201cAsia untuk Orang Asia\u201d, \u201cJepun Cahaya Asia\u201d, \u201cJepun Pelindung Asia\u201d, dan \u201cJepun Pembebas Asia\u201d terus dilaungkan ketika zaman pendudukan Jepun di Indonesia (Ruslan Zainuddin, 2004:227). Bagi Armijn Pane, Rosihan Anwar dan Nur Sutan Iskandar, Gagasan Kesemakmuran Bersama Jepun yang dilaungkan ketika zaman pendudukan Jepun di Indonesia merupakan satu helah penipuan penjajah Jepun semata-mata.\nPenganjuran Malam Deklamasi Sajak dan Diskusi Kesusasteraan Indonesia Moden di Pejabat Pusat Kebudayaan Keimin Bunka Shidoso menampilkan sesi deklamasi puisi oleh Rosihan Anwar yang telah mendeklamasikan sebuah puisi penyair Poedjangga Baroe terkenal, iaitu Amir Hamzah bertajuk \u201cAstana Rela\u201d. Namun begitu, kemunculan seorang pemuda berbaju lusuh dan rambut yang tidak disikat dengan rapi, iaitu penyair Chairil Anwar ketika Rosihan Anwar mendeklamasikan puisi \u201cAstana Rela\u201d dengan lantang mengatakan sajak Amir Hamzah itu sudah ketinggalan zaman. Malam itu juga, Chairil Anwar telah mendeklamasikan puisi popularnya, \u201cAku\u201d. Kemunculan Chairil dan \u201cAku\u201d melambangkan kekuatan karya dan imej yang mengandungi vitalitas, iaitu daya hidup dan tenaga hidup. Seni Chairil Anwar merupakan sebuah simbol kehidupan yang bebas. Bermulalah suatu suara segar dalam puisi Indonesia moden.\nPelibatan Rosihan Anwar ketika memberikan nama komersial untuk angkatan sastera yang diasaskan oleh Chairil Anwar dengan sebutan \u201cAngkatan 45\u201d telah diceritakan dalam majalah Siasat terbitan 22 Oktober 1950. Sejarah nama Angkatan 45 yang diperkenalkan buat julung-julung kalinya oleh Rosihan Anwar menerusi Ruangan Kebudayaan dalam majalah Gelanggang telah diterima dengan kata sepakat sebagai nama rasmi angkatan sastera era tahun 1929 hingga 1940-an.\nKemunculan para sasterawan Angkatan 45 telah merancakkan perkembangan dunia kesusasteraan Indonesia, selain memberikan perhatian besar terhadap kemajuan karya sastera Indonesia.\nSejarah kemunculan Angkatan 45 dalam sejarah kesusasteraan Indonesia moden lahir daripada pergolakan. Selain itu, karya-karya sastera Angkatan 45 menampilkan hasil karya yang melahirkan identiti baharu dunia kesusasteraan Indonesia yang penuh kontroversi. Secara keseluruhannya, kehadiran Angkatan 45 menurut Wahyudi Aldiano dalam \u201cLatar Belakang Lahirnya Sastera Angkatan 45\u201d (2020) telah mengubah nilai dalam aliran sastera Indonesia yang terdahulu.\nKemunculan para sasterawan Angkatan 45 telah merancakkan perkembangan dunia kesusasteraan Indonesia, selain memberikan perhatian besar terhadap kemajuan karya sastera Indonesia. Kemunculan mereka sesungguhnya bertujuan untuk memelihara mutu karya sastera dan bahasa Indonesia daripada pengaruh asing dan penjajahan.\nPencapaian Angkatan 45 dalam perkembangan dunia kesusasteraan Indonesia moden telah berjaya mencipta saluran rasmi menerusi penerbitan majalah kebudayaan bertajuk Gema Suasana pada bulan Januari 1948. Pada asasnya, penerbitan majalah Gema Suasana telah diterajui oleh sidang redaksi yang terdiri daripada Asrul Sani, Chairil Anwar, Mochtar Apin, Rivai Apin, dan Baharuddin MS. Majalah ini dicetak dan diterbitkan oleh syarikat penerbitan Belanda di Indonesia yang dikenali sebagai Opbouw (dalam bahasa Indonesia bermaksud \u201cPembangun\u201d. Namun demikian, penerbitan majalah Gema Suasana telah dibubarkan dan ditukarkan kepada nama baharu menerusi majalah Gelanggang. Penerbitan majalah Gelanggang buat pertama kali pada bulan Februari 1948 merupakan majalah kebudayaan yang dikategorikan sebagai jurnal mingguan di Indonesia. Secara keseluruhannya, penerbitan majalah Gelanggang telah diterajui oleh Chairil Anwar dan Ida Nasution sebagai sidang redaksi. Merekalah yang memperkenalkan gagasan Angkatan 45, yang dikenali dengan nama komersialnya, \u201cSurat Kepercayaan Gelanggang\u201d.\nDari titik inilah, pengkaryaan kalangan Angkatan 45 mekar berbunga. Suara humanisme universal, individualisme, segar, selain padat, jelas dan jernih ekspresi bahasanya merupakan tandatangan Angkatan 45 yang masih berbekas dan berpengaruh, walaupun pada hari ini. Selain nama-nama yang sudah disebutkan, muncullah pengarang-pengarang besar era ini, yang terus memajukan pengkaryaan dan nilai mutu sastera Indonesia moden, seperti Asrul Sani (yang juga merupakan seorang pengarang lakon layar dan pengarah filem yang terkenal dan pengasas bersama Sinematek Indonesia), Rivai Apin, Idrus, Achadiat K. Mihardja, Pramoedya Ananta Toer, Mochtar Lubis, Utuy Tatang Sontani, Sitor Situmorang, Aoh K. Hadimadja, Trisno Sumardjo, M. Balfas, Suwarsih Djojopuspito, dan St. Nuraini. Tapak sejarah yang ditempanya dalam kesusasteraan Indonesia moden masih berbekas dan diteruskan oleh generasi sekarang.\n_________________________\nKhairol Anuar Harith Fadzilah merupakan seorang guru di MRSM Merbok, Bedong Kedah. Beliau mengajar mata pelajaran Sejarah, Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu." "Pengarang Selatan Thailand Terpilih sebagai Pemenang SEA Write Award 2021 (Thailand)\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangkok \u2013 Novel De Fun oleh pengarang dari wilayah selatan Thailand, Siriworn Kaewkarn telah diumumkan sebagai pemenang Anugerah Penulis Asia Tenggara atau SEA Write Award bagi Thailand. Pengumuman itu dibuat pada 10 Januari 2022, jam 3.00 petang (waktu Malaysia) oleh panel juri bagi Negara Thai.\nSEA Write Awards yang disertai oleh 10 buah negara Asia Tenggara mula diperkenalkan pada tahun 1979 dengan cetusan idea daripada pihak pentadbiran Hotel Oriental Bangkok. Selepas SEA Write diperkenalkan, banyak organisasi lain turut terlibat memberikan sumbangan serta kerjasama, seperti Bangkok Bank Limited, Thai Airways dan kumpulan ETan Thai. Anugerah berprestij ini diadakan untuk memberikan sokongan, mempromosikan dan meletakkan martabat para penulis ASEAN pada tempat yang sepatutnya. Pada mulanya, hanya lima buah negara yang menyertai, iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, dan Thailand.\nDua puluh tahun kemudian, anugerah serantau ini telah lengkap diberikan kepada penulis di semua ahli negara ASEAN dengan penyertaan Brunei Darussalam, Laos, Myanmar, Vietnam, dan Kemboja. Anugerah SEA Write terbahagi kepada tiga genre penulisan kreatif, iaitu puisi, cerpen dan novel (buat beberapa negara, termasuk drama dan esei). Pemenang akan dipilih oleh panel juri yang dilantik pada setiap tahun. Satu tahun satu kategori akan dipilih dan akan bergilir-gilir mengikut pusingan. Di Thailand, pemilihan adalah berdasarkan karya yang diterbitkan pada tahun tersebut, tanpa melihat giliran genre. Semua kumpulan puisi, kumpulan cerpen dan novel layak dipilih, asalkan karya itu tulen dan diterbitkan pada tahun tersebut.\nSiriworn Kaewkarn merupakan seorang penulis yang cukup prolifik di Thailand. Beliau dilahirkan pada tahun 1968 di Nakhon Si Thammarat, selatan Thailand. Siriworn terlibat secara aktif dalam semua genre sastera tetapi lebih dikenali sebagai seorang penyair. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan lebih 11 buah kumpulan puisi, tiga buah kumpulan cerpen, lima buah novel, dan empat buah dokumentari. Sebelum dinobatkan sebagai pemenang SEA Write 2021, Siriworn telah beberapa kali memenangi hadiah sastera peringkat kebangsaan Negara Thai. Beberapa buah buku hasil karyanya juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Pada peringkat SEA Write sahaja, kumpulan puisi, kumpulan cerpen dan novel Siriworn sudah sembilan kali masuk ke pemilihan peringkat akhir anugerah.\nLaporan pihak panel juri merumuskan bahawa De Fun ialah sebuah novel yang cukup menarik dari segi teknik, gaya bahasa, latar masa, latar tempat, dan plot, dengan menggunakan nama watak utama \u201cDe Fun\u201d sebagai judulnya. De Fun juga ialah novel yang sarat dengan rentetan dan penyelidikan sejarah yang panjang, menjadikannya sebuah novel berbentuk saga penghijrahan yang tersulam kompleks dan dibarisi sekumpulan watak yang besar. Kisah diangkat daripada perjalanan sekumpulan masyarakat Siam dari negeri Kedah pada era mula-mula Inggeris bertapak di Tanah Melayu. Ada sekumpulan masyarakat pada dasarnya tidak begitu suka tinggal di bawah pemerintahan Inggeris lalu mereka cuba berhijrah ke utara untuk mencari sebuah penempatan baharu. Kebanyakan latar tempatnya berlaku di kawasan semenanjung, iaitu negeri seperti Kedah, Perlis, Perak, dan Kelantan. Sementara di Thailand, dimuatkan latar tempat di beberapa wilayah selatan, seperti Satun, Songkhla, Phatthalung, dan Nakhorn Si Thammarat. Satu kitaran sejarah perjalanan dan perhubungan manusia di antara negeri di Semenanjung Tanah Melayu dan wilayah di Thailand cuba dijelmakan kembali ke hadapan pembaca.\nDalam novel ini, De Fun ialah generasi ketiga dan datuk De Fun merupakan ketua kumpulan penghijrah pada masa itu. Datuk De Fun seorang gembala harimau dan harimau itulah yang menjadi penunjuk jalan ketika meredah hutan, paya dan sungai untuk mencari destinasi penempatan baharu. Penghijrahan mereka bukan sahaja melibatkan sekumpulan orang, tetapi termasuk segala ternakan yang dibawa bersama seperti, lembu, kerbau, ayam, dan itik. Perjalanan mereka ditempuhi dengan pelbagai kesukaran dan konflik, hanya untuk mengecap nafas kebebasan. Demi kelangsungan hidup, rintangan perlu dihadapi oleh anak cucu generasi yang terkemudian sedangkan sang perintis yang mula mengasaskan penghijrahan telah lama meninggal pergi.\nKhalayak peminat sastera Thailand mengharungi detik penuh debaran menanti keputusan Anugerah SEA Write kali ini, bermula sejak panel juri mengumumkan pusingan akhir dengan 10 buah novel terbaik telah dipilih pada 20 November 2021 yang lalu." "Tujuh Pemuisi Wakil Malaysia di Festival Sastera Antarabangsa Panorama 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nTujuh orang pemuisi tempatan terpilih untuk mewakili negara dalam Festival Sastera Antarabangsa Panorama 2022 atau Panorama International Literature Festival (PILF) 2022 yang berlangsung selama sebulan dari 1 hingga 30 Januari. Festival yang merupakan salah satu program utama Writers Capital International Foundation (WCIF) atau Yayasan Penulis Antarabangsa dari India, dianjurkan untuk menyebarkan nilai kemanusiaan melalui medium seni dan sastera.\nPreeth Nambiar, penulis dan penyair yang beribu pejabat di Mysuru, India, yang juga Pengerusi PILF berkata, dengan tema \u201cShoonya, Celestial Void\u201d (\u201cKebahagiaan Jiwa\u201d), festival ini dianjurkan untuk menghidupkan semula bidang kesusasteraan metafizik yang telah dilupakan pada zaman moden.\n\u201cMetafizik ialah konsep falsafah yang digunakan dalam kesusasteraan untuk menggambarkan perkara di luar gambaran kewujudan fizikal. Gagasannya telah menarik perhatian pembaca sejak dahulu lagi.\n\u201cPILF 2022 akan sekali lagi memperkenalkan cabang sastera yang berbobot ini untuk para penulis generasi sekarang,\u201d ujar Preeth.\nMenurut Prof. Irene Doura-Kavadia, penulis, penyair, pendidik, pengurus, dan aktivis budaya dari Greece yang juga merupakan Setiausaha Agung WCIF, dalam tempoh sebulan acara festival ini diadakan, programnya telah menampilkan ratusan penulis dari 54 buah negara yang telah mendaftarkan nama mereka untuk membentangkan karya mereka, sekali gus mencatat rekod dunia sebagai festival sastera antarabangsa dalam talian terpanjang oleh Assist World Records Research Foundation.\u00a0\n\u201cKarya-karya peserta akan dipaparkan di pelbagai platform media sosial dan laman sesawang di seluruh dunia. Di samping itu, akan ada simposium, syarahan pakar, pertukaran budaya, termasuk program deklamasi puisi, yang secara kolektif akan menjadikan PILF sebagai festival global yang hebat untuk para penulis dan peminat sastera,\u201d jelasnya.\nPenyelaras dan kurator program yang bertanggungjawab mengumpul para peserta Malaysia, Dr. Zainatul Shuhaida Abdull Rahman yang juga merupakan Pensyarah Fakulti Filem Teater dan Animasi, Universiti Teknologi Mara berpendapat, program itu mempunyai potensi untuk memperkenalkan bahasa, seni dan budaya tanah air pada peringkat dunia. Beliau turut mendeklamasikan puisi karya sendiri berjudul \u201cSenyum Itu Bahagia\u201d.\nPeguam Mahkamah Tinggi Malaysia, Dato\u2019 Dr. Radzuan Ibrahim, namun lebih dikenali dengan nama pena Wanrazuhar yang juga Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), juga turut serta dalam festival ini. Radzuan mempersembahkan puisi sendiri, \u201cInsan Berjiwa Besar\u201d.\nBeliau berkata, menyertai festival antarabangsa itu merupakan pengalaman yang sangat bermakna kerana memberi peluang kepada pemuisi tanah air meluahkan suara kemanusiaan sejagat, yang selaras dengan misi persatuan yang dipimpinnya.\nSalah seorang lagi yang turut terpilih ialah Harlym Yeo. Beliau merupakan penggiat puisi yang sinonim dengan program penghayatan puisi yang diadakan setiap bulan secara dalam talian. Harlym juga dilantik sebagai moderator dan pengacara majlis festival itu, selain berpeluang membuat persembahan deklamasi sajak.\nDengan penuh dramatik dan emosional, beliau memperdengarkan khalayak dengan karya nukilannya yang berjudul \u201cWarisan Merdeka\u201d. Beliau meluahkan kegembiraannya kerana kesempatan itu dianggap sebagai salah satu kaedah mengantarabangsakan puisi Melayu ke persada global, di samping dapat memperkukuhkan hubungan strategik dengan rakan peminat sastera sedunia.\nSelain itu, pemuisi tempatan lain yang ikut serta termasuk Zalina Ahmad atau Zaleena E-naa yang mempersembahkan puisi ciptaan sendiri, \u201cPada Tanah Waadat Ini\u201d, Marzelan Md. Jusoh atau Perindu Seni mendeklamasikan sajak sendiri berjudul \u201cBenih Warisan\u201d, Mohd. Shareezad Abdul Satad atau Ezad SS, membaca puisi karya Mohilis bertajuk \u201cHidup Itu Suatu Pilihan\u201d, dan Mohamad Zaki Abdul Halim mempersembahkan sajak Sasterawan Neaga Usman Awang berjudul \u201cBalada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya\u201d dan sajak nukilan sendiri, \u201cYang Permai Itu Sebuah Saloma\u201d.\nKetujuh-tujuh peserta Malaysia berasa sangat bertuah dan teruja kerana terpilih sebagai wakil pemuisi Malaysia. Mereka berharap agar usaha murni memartabatkan bahasa dan budaya Malaysia ke peringkat antarabangsa dapat diteruskan lagi dari semasa ke semasa.\nFestival yang julung-julung kalinya membabitkan penyertaan Malaysia itu disiarkan kepada khalayak dunia pada 19 Januari lalu, jam 9.00 malam menerusi YouTube Writers Capital Foundation.\n\nTonton acara penuh di sini." "Politik dan Sastera: Siapakah yang Mahu Dibohongi?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMohd Shoffi Sukamin melihat titik pertemuan dan pertentangan antara sastera dengan politik dan bagaimana simbiosisnya memerlukan pendirian nilai yang jelas dan tegas.\nPolitik dan sastera seperti adik-beradik yang berjalan seiringan, namun di tengah-tengah antara kedua-dua entiti ini, pendirian harus berdiri dengan tegas.\nArena sastera dunia sudah semestinya tidak mampu lari daripada permainan politik, sama ada politik dalaman mahupun luaran. Politik dalaman biasanya berkaitan dengan pergeseran dalam organisasi sahaja, tetapi politik luaran pergeserannya melibatkan kelompok yang lebih besar, apatah lagi jika orang politik daripada parti kanan/kiri yang \u201cmembeli\u201d orang sastera dengan manifesto atau dana untuk organisasi yang sedang digerakkan.\nPolitik dan sastera seperti adik-beradik yang berjalan seiringan, namun di tengah-tengah antara kedua-dua entiti ini, pendirian harus berdiri dengan tegas. Sebagai contoh, gerakan Keranda 512 yang diketuai oleh Almarhum Sasterawan Negara (SN) Usman Awang, dengan jelas kita melihat cara beliau sebagai orang sastera yang dalam masa sama bukanlah menjadi penentang (menurut haluan kiri/kanan) kerajaan pada ketika itu, tetapi berpendirian yang ditampilkannya jelas. Perjuangan dan pendirian itu terus diwarisi oleh para sasterawan sesudah beliau, seperti SN Baha Zain, yang terus lantang menentang PPSMI. Orang-orang sastera begini amat jelas dengan pendirian dan harga diri.\nSastera tidak seharusnya dibudakkan oleh politik, sebagai contoh jika berlaku pergeseran dalaman pada sesuatu organisasi sastera, pendirian harus berdiri di tengah. Tidak kiralah dalam perebutan kerusi presiden atau kerusi AJK sekalipun, pendirian yang dipegang oleh SN Usman Awang dan Baha Zain harus terus dipegang dengan erat. Tidak seharusnya pergeseran yang berlaku itu bertujuan untuk melemahkan fungsi organisasi, sehingga sanggup menggadaikan pendirian atas sebab \u201corang politik telah menyalurkan wang\u201d untuk menutup mulut apabila dasar-dasar yang melemahkan bahasa dan sastera dijalankan oleh mereka. Bukankah hal itu bertentangan dengan roh sastera itu sendiri?\nSiapa yang kita mahu bohongi? Menyokong blok politik kiri/kanan bukanlah perkara yang salah, tetapi pendirian dan harga diri sebagai orang sastera harus dihidupkan dengan integriti dan moral kompas yang jelas. Saban tahun, kita melolong soal \u201csurvival\u201d sastera negara dalam kemajuan teknologi dan kepantasan maklumat, kita jalankan seminar itu dan ini, diskusi itu dan ini. Malah, sastera siber turut diperbahas bagi mencari solusi terbaik untuk memastikan sastera terus hidup sehari lagi. Namun begitu, dalam masa yang sama, diam-diam maruah dan harga diri kita \u201cdilacurkan\u201d untuk wang dan sanggup mengorbankan pendirian yang telah ditunjukkan oleh tokoh-tokoh sastera terdahulu, baik sayap kiri mahupun kanan, semata-mata untuk kepentingan peribadi. Jijik!\nTulisan ini sebenarnya tidak merujuk mana-mana individu atau mana-mana organisasi. Gambaran yang diberi hanyalah contoh sahaja. Hal yang penulis cuba sampaikan ialah kita semua harus jujur dengan diri sendiri dan bergerak dalam nafas dan tujuan yang sama. Perbezaan ideologi, agama dan bangsa tidak sepatutnya dibayar dengan pendirian dan nilai sastera. Jika dasar persis PPSMI itu wajar dan baik untuk bahasa dan sastera, maka tampilkan hujah dan justifikasinya secara telus, tanpa dipengaruhi oleh mana-mana parti atau individu (politik).\nSekali lagi, siapa yang mahu kita bohongi?\nWajah sastera bagaimanakah yang mahu kita tunjukkan kepada masyarakat? Wajah sastera yang dibonekakan oleh pihak tertentu? Atau sastera yang dikelolakan oleh pendirian dan tujuan? \nPenulis merasakan orang sastera yang sudah berkedudukan seperti sudah lupa apakah tujuan sastera itu diwujudkan selain hanya menjadi medium hiburan semata-mata? Sastera harus berdiri sebagai pengkritik bebas dalam apa-apa juga bentuk penindasan dan ketidakadilan yang dijalankan oleh mana-mana badan penguasa, tidak kiralah badan perundangan mahupun keagamaan. Sastera harus berdiri dengan jelas dalam landasannya sendiri. Orang sastera perlu bermusyawarah dan mencari solusi yang paling muktabar. Politik dan sastera tidak pernah terpisah, namun tidak pula saling merendah dan berkomplot untuk melemahkan. Politik sudah sedia kotor, mengapa pula sastera harus berkongsi kekotoran yang sama?\nRasuah, pengubahan wang haram dan pengkhianatan sudah menjadi asas moral \u201cpolitik\u201d dunia. Tiada satu sistem politik pun yang akan terlepas daripada kekotoran ini, selagi yang memegang tampuk kuasa itu ialah manusia, maka kecenderungan untuk meraih keuntungan peribadi bukanlah hal yang asing. Namun begitu, jika mana-mana organisasi sastera yang memiliki keinginan yang sama, ingin menjadikan organisasi itu sebagai lubuk untuk mencuci wang dan mengambil \u201ckomisen\u201d, maka tiada sebab lagi organisasi itu terus beroperasi dengan nama \u201csastera\u201d.\nTiada sebab lagi untuk kita semua peduli dengan sastera jika terdapat organisasi atau badan tertentu yang kononnya memperjuangkan sastera turut terjun dalam lubang moral yang sama seperti orang politik yang acap kali kita kritik dalam karya. Memalukan!\nAkhir sekali, politik dan sastera akan tetap jalan beriringan, sepertimana pujangga yang terikat dengan istana, seperti itu jugalah sastera pada hari ini. Namun begitu, jika kita terikat dengan permintaan parti politik, hal itu jauh lebih memalukan kerana sumber kertas pada zaman ini bukan seperti dahulu kala, yang harus diimport dari China dan mahal harganya. Hikayat menjadi barang persembahan untuk menjalinkan hubungan diplomatik. Oleh sebab itu, pujangga perlu terus terikat dengan istana supaya kelangsungan dan sumber penulisan sasteranya dapat terus diwariskan. Namun begitu, tiada sebab organisasi sastera perlu terikat dengan pendirian mana-mana parti pada hari ini. Kita memiliki sumber penulisan yang amat banyak. Jika hikayat-hikayat dahulu boleh ditulis secara tersirat dengan berlapis-lapis kritikan terhadap istana, sepatutnya kita jadi lebih garang daripada itu. Namun jika kita memilih menjadi hamba kepada politik dan senang dengan kekotorannya, maka tiada apa-apa yang boleh dilakukan lagi selain melihat sastera mati di tangan kita sendiri.\n_________________________\nMohd Shoffi Sukamin merupakan pegawai perancang bahasa di Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka." "Panrita: Penyucian di Alam Roh\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNorsamila Samsudin membawa kita mengharungi perjalanan roh ala The Divine Comedy kita yang tersendiri, ditulis oleh Sasterawan Negara Arena Wati pada tahun 1993.\nBuanglah segala logik realiti, tetapi fokus pada ilmu al-Quran dan janji Tuhan, kerana pengembaraan ke alam roh oleh Arena Wati ini ada menyentuh tentang apa-apa yang diceritakan juga dalam al-Quran, walaupun bentuk tulisnya sudah diubah kepada bentuk naskhah sastera naratif.\nPanrita (DBP, 1993) merupakan karya Sasterawan Negara Arena Wati yang dikategorikan sebagai sebuah novel absurd. Kisah pengembaraan ke alam roh merupakan suatu bentuk penulisan fiksyen yang berani daripada Sasterawan Negara kelima ini. Pada awal prakatanya, sudah dimaklumkan bahawa novel ini hanyalah sebuah cereka yang sumber ideanya menerawang daripada punca akal yang penuh persoalan tentang alam yang tidak kelihatan, malah tidak mampu diceritakan. Jangan dipertikaikan akan logik akal, apatah lagi perkara yang berkait dengan kefahaman terhadap kesyirikan.\nBuanglah segala logik realiti, tetapi fokus pada ilmu al-Quran dan janji Tuhan, kerana pengembaraan ke alam roh oleh Arena Wati ini ada menyentuh tentang apa-apa yang diceritakan juga dalam al-Quran, walaupun bentuk tulisnya sudah diubah kepada bentuk naskhah sastera naratif.\nWatak utamanya (dikenali sebagai Omba) berada di alam roh. Alam di antara hidup dan mati atau lebih tepat, watak utama ini di bumi sedang dalam keadaan koma di sebuah hospital. Ketika hidupnya, dia merupakan seorang tuan besar. Namanya gah dan masyhur, malah dimuliakan di negaranya. Akan tetapi, di alam \u201cjabarut\u201d, nama yang gah yang telah dibinanya itu tiada erti lagi kecuali gelaran akronim bagi memudahkan watak ini dipanggil. Omba \u2013 Orang Model Baharu.\nPerjalanan Omba di alam jabarut bersama Sukma \u2013 Saudara Kembar Manusia. Sukma sebenarnya merupakan serpihan diri Omba. Sukma sebenarnya jelas menjadi refleksi diri tentang amal dan dosa Omba ketika hidup di bumi.\nPerjalanan Omba di alam jabarut atau alam transit ini boleh dianggap sebagai peluang kedua untuk watak ini melihat dirinya yang penuh dosa dan perlu digantikan anggota tubuhnya agar lebih suci. Akan tetapi, pencarian anggota tubuh baharu di alam roh yang dilaluinya sering kali menemui ujian dan kegagalan.\nKegagalan itu bukan sahaja mengajar Omba sesuatu tetapi juga kita sebagai pembaca, bahawa pencarian itu ada waktunya bukan apa-apa, sebaliknya merupakan suatu pengalaman pengajaran (yang lebih dititik beratkan) sewaktu proses pencarian itu dilalui.\nArena Wati juga membawa kita mengenali watak-watak agung yang berada di alam roh ini. Ditampilkan, mereka amat hebat (dan menempa sejarah) di bumi, tetapi apabila diteliti di alam jabarut \u2013 keji. Anggota tubuh badan mereka yang hendak diambil oleh Omba juga banyak dosanya. Watak seperti Zeus, Oedipus, Hedes, dan Hamzah Fansuri; disingkap sejarah hidup mereka oleh Arena Wati dalam bentuk fiksyen, yang dasarnya dikutip daripada mitos, sumber sejarah dan kisah benar.\nWatak suci seperti Eros dan Aphrodite (daripada sumber mitos Yunani Purba) dijelmakan semula. Diceritakan yang Eros dan Aphrodite ini pasangan seniman beriman, tetamu kesayangan Saddam di Iraq. Mereka syahid ketika pihak Amerika Syarikat melancarkan sistem carpet bombing. Beginilah kreatifnya sasterawan hebat ini menyelit dan menjalinkan cebisan watak yang dikenali di dunia menjadi watak-watak garapan seni dalam naratif novel ini.\nSinis Arena Wati jelas dalam perkara yang melibatkan kuasa besar dunia. Malah, beliau turut menyindir beberapa watak pemimpin yang korup dan mengambil kesempatan ketika memegang jawatan.\nPenceritaan yang diselang-selikan dengan watak-watak yang terlibat dengan sejarah dunia membuka mata dan minda pembaca untuk menyelam lebih dalam kisah mereka. Banyak lagi watak lain yang dimunculkan oleh Arena Wati, termasuklah Ibnu Sina, Harun al-Rasyid, Hay ben Yakzan (putera Ja\u2019afar Barmaki, Perdana Menteri Baghdad), Abu Nawas, Puteri Gunung Ledang, dan beberapa watak lagi. Sejarah mereka dijelmakan semula. Watak yang memiliki karya juga, karyanya diangkat agar kita yang membaca sedar akan kewujudannya.\nDi alam roh ini juga, Arena Wati menyedarkan kita bahawa setiap anggota tubuh kita ialah amanah. Setiapnya perlu dijaga dan diguna sebaik-baiknya agar tidak menyesal sebagaimana Omba. Mencari yang baharu dan sepadan memang sukar, yang akhirnya terpaksa memasang semula anggota asal.\nSatu-satunya cara sebelum watak ini disedarkan daripada koma untuk peluang kedua, adalah dengan penyucian seluruh tubuh mereka. Penyucian yang dilakukan dengan zikir yang panjang, yang pelbagai. Yang memuji nama dan sifat Pencipta tanpa mengingat dunia, hatta sepicing pun.\nArena Wati juga bijak mencipta dialog yang bercerita tentang fungsi setiap anggota tubuh, yang mana jika tiada salah satu, akan menyukarkan hidup insan. Besarnya dosa setiap anggota tubuh manusia dinilai di alam mizan. Alam pertimbangan. Daripada sekecil-kecil sehingga sebesar-besar perkara.\nWatak seperti Panrita Tua, Patriarch, Shih Huang Ti, dan Hamzah Fansuri pula diwujudkan sebagai watak-watak yang menyedarkan dan menginsafkan Omba dan beberapa lagi watak yang terperangkap di dunia roh. Perjalanan di alam asing ini amat panjang. Dengan pelbagai kekeliruan, kekesalan dan seribu pertanyaan. Hal ini bertujuan untuk membantu manusia insaf dan mentadbir dunia dengan akal dan iman. Bukan dengan nafsu semata-mata. Buku yang sangat baik dibaca apabila kita mampu mencerna isinya.\n_________________________\nNorsamila Samsudin ialah penulis kelahiran Selangor yang menghasilkan novel Cantik (2019), Dia Bukan Mahsuri (2020), Maaf (2020), dan Lastik Kayu (2021). Beliau kini tinggal di Petaling Jaya, Selangor." "Mencontohi Sains dalam Membina Ekosistem Sastera yang Kalis Pandemik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKolumnis Rem Dambul menegaskan nilai dan gerakan sains yang boleh dicontohi dalam gerakan sastera demi kelangsungan hidupnya.\nTifoid sebagai misalnya, mengambil masa selama 29 tahun (1880\u20131909), bermula daripada kajian sains asas sehingga vaksin tersebut boleh diberi kepada manusia buat kali pertama. Demam kuning pula 19 tahun (1918\u20131937), polio selama 18 tahun (1935\u20131953), dan demam campak lebih kurang 20 tahun (1950\u20131970).\nDalam tempoh dua tahun ini, segenap pelosok buana bersengkarut dengan perang jangkitan. Dunia terumbang-ambing mencari rumus penyelesaian, tetapi sehingga sekarang formula yang benar-benar sakti untuk melawan krisis COVID-19 masih samar-samar. Benar, vaksin sudah ada, tetapi kaedah terbaik mengawal tingkah laku sosial masyarakat masih belum ditemui.\nTuhan tidak mendatangkan dugaan, melainkan dengan maksud mahu mengangkat martabat kemanusiaan. Konsep kifarat bukanlah semata-mata tentang penebusan dosa. Kifarat sebenarnya suatu refleksi dan proses pertumbuhan rohani, agar kita menjadi insan yang lebih cakna dan terbuka.\nDemikian juga, segala kesenangan yang mempesona bukanlah sekadar limpahan kurnia. Mungkin di sebaliknya, tersirat peringatan-peringatan yang mendalam. Setiap kali markat manusia naik setingkat, kita harus beringat bahawa Tuhan sedang menguji hamba-Nya dengan nikmat.\nMeski gelombang pandemik ini telah menjungkir balik norma kebiasaan dan melambung giling kehidupan, ada banyak iktibar baharu yang membawa nilai-nilai pengajaran penting. Benar seperti kata golongan cendekia: setiap musibah yang melanda, pasti ada hikmah tersembunyi.\nDalam era kemelut libang-libu ini, sains dan diplomasi ilmu berkembang subur. Bukan sahaja berlaku gerakan dinamik dalam bidang bioteknologi, bahkan keterangkaian digital turut memecut dengan kadar luar biasa. Kedua-dua fenomena ini mengubah tradisi lama bagaimana pengetahuan dicipta dan disintesiskan ke dalam bentuk gunaan.\nNamun begitu, ketangkasan proses ini tidak diterima secara positif sepenuhnya. Sebagai misalan, penemuan vaksin COVID-19 dalam tempoh kurang daripada dua tahun selepas pandemik bermula, dianggap segelintir pihak sebagai tidak munasabah. Proses dan merit pengujian atas vaksin ini menimbulkan banyak persoalan dan kecurigaan. Betulkah vaksin tersebut sudah mencapai darjah kematangan yang sepatutnya?\nRamai yang nampaknya kurang hadam tentang ekosistem sains dan tidak memahami beberapa anjakan signifikan dalam tempoh pandemik. Ya, anjakan-anjakan yang memboleh daya secara lebih pantas pemindahan sains asas (ilmu tentang virus corona) kepada aplikasi teknologi (vaksin COVID-19). Faktor ini perlu dicerna dengan kefahaman yang mendalam.\nRebakan COVID-19 berjaya merentas hampir ke segenap benua dalam tempoh yang singkat. Hingga sifatnya sebagai masalah sejagat terserlah begitu nyata. Oleh sebab itu, wabak ini menjadi krisis sepunya satu global. Justeru, usaha menanganinya juga amat bersepadu \u2014 yang merangkaikan akrab data, hasil kajian dan proses regulasi perubatan seantero dunia.\nHal ini dibantu pula oleh dua lagi faktor pemacu yang berkembang lebih awal. Pertama, aspek sains fundamental dalam bidang bioteknologi yang sudah mencapai tahap unggul sejak tiga dekad kebelakangan. Kedua, era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) yang secara langsung mengukuhkan jaringan digital seluruh bumi raya. Kebanyakan negara sudah mempunyai dasar IR 4.0 yang tersendiri, sebelum pandemik lagi, bagi mengolah operasi digital dalam konteks jaringan kebangsaan dan antarabangsa.\nInilah ekosistem kontemporari yang memacu pembangunan vaksin COVID-19 supaya lebih efektif dari segi tempoh masa. Keadaan ini belum pun wujud semasa vaksin-vaksin yang terdahulu dibangunkan. Jadi, tidak hairanlah jika prosesnya jauh lebih lama. Tifoid sebagai misalnya, mengambil masa selama 29 tahun (1880\u20131909), bermula daripada kajian sains asas sehingga vaksin tersebut boleh diberi kepada manusia buat kali pertama. Demam kuning pula 19 tahun (1918\u20131937), polio selama 18 tahun (1935\u20131953), dan demam campak lebih kurang 20 tahun (1950\u20131970).\nSeperti kata pepatah, ringan sama dijinjing, berat sama dipikul; gunung sama didaki, lurah sama dituruni. Jika hati tidak berbalah dan hidup rukun bergotong-royong, beban yang berat akan menjadi ringan. Kerja yang panjang akan menjadi lebih singkat. Begitulah tamsilnya situasi dunia ketika era pandemik COVID-19. Ideologi politik diketepikan dan diplomasi sains yang merentas berbilang negara \u2014 diangkat ke markat teratas bagi memudah cara perkongsian kepakaran, data dan teknologi.\nKomuniti sastera masih kacau-bilau mencari arah, dan meletakkan pasak rujukan baharu dalam norma yang sudah berubah.\nTernyata krisis pandemik ini menyuburkan sains dan inovasi hingga berkembang lebih pesat dan pantas, terutama sekali bidang bioteknologi imunisasi serta kesalinghubungan digital. Persoalannya, apakah pula impak krisis sedunia ini kepada persuratan dan sektor perbukuan, khususnya bidang kesusasteraan? Adakah COVID-19 bertindak mangkin yang merancakkan aktiviti, atau selaku jeleket yang mengakrabkan para penggiat sastera atau menjadi pemacu yang menumbuhkan gagasan-gagasan baharu?\nAdakah sastera memecut seperti sains, atau sebenarnya sedang mengecut? Sepintas lalu, persuratan dan sastera tidak sekalis sains teknologi dalam mendepani cabaran COVID-19. Perubahan ekosistem jaringan sosial manusia, daripada bersifat fizikal kepada maya \u2014 tidak dinafikan, agak membantutkan syiar kesusasteraan dalam pelbagai aspek. Hal ini bukan sahaja merujuk produktiviti karya, bahkan juga memberikan kesan pada aktiviti-aktiviti persuratan kreatif skala nasional, termasuk acara-acara penganugerahan.\nMemang benar, terdapat peningkatan kegiatan bagi aktiviti-aktiviti sastera berbentuk lisan dan pementasan. Misalnya, acara-acara pertandingan membaca puisi moden dan tradisional yang tiba-tiba membiak gadang di platform-platform dalam talian. Begitu juga majlis-majlis wacana dan diskusi, yang semakin meriah dan semarak.\nTetapi secara umum, percambahan itu berlaku secara runcit-runcitan yang terpencil. Bagi program-program lebih signifikan, misalnya segmen anugerah peringkat negeri dan nasional, penghasilan dan penerbitan karya, serta penganjuran pesta-pesta buku \u2014 nampaknya arena kesusasteraan lebih capek daripada ekosistem sains. Komuniti sastera masih kacau-bilau mencari arah, dan meletakkan pasak rujukan baharu dalam norma yang sudah berubah.\nTerlalu banyak polisi berkenaan sains teknologi dan sosioekonomi yang digubal dalam dua tahun ini, khusus untuk menangani impak pandemik. Bahkan, dalam sesetengah bidang, terdapat juga inisiatif berbentuk foresight (jangkauan masa depan) bagi meneka dengan bijak kemungkinan-kemungkinan masa hadapan. Kemudian menggunakan informasi ini bagi merancang kaedah adaptasi untuk memastikan sektor dan industri masing-masing tidak rentan kepada perubahan-perubahan dunia pada masa akan datang.\nSejauh pengamatan peribadi (mungkin juga saya salah), usaha-usaha sedemikian masih belum membudaya dalam ekosistem persuratan kreatif. Sudah adakah gerakan tersusun dalam kalangan aktivis teraju (misalnya, para pemimpin persatuan) ke arah ini? Dasar negeri dan negara yang benar-benar inklusif, selalunya tidak digerakkan bermula dari atas. Sebaliknya ia harus dipacu oleh akar umbi dengan pendekatan yang sering dicanang sebagai bottom up.\nAda banyak kajian yang menjurus kepada kesimpulan bahawa pandemik akan menjadi satu cabaran rutin yang lebih kerap dalam era-era mendatang. Justeru, semua bidang dan sektor perlu bersedia untuk mendepaninya. Dunia sastera harus proaktif dalam usaha memikirkan bentuk-bentuk karya baharu yang sifatnya lebih anjal; serta mudah mesra dengan platform digital. Terlalu taasub pada sesuatu dogma dan bersikap sangat sentimental kepada genre-genre konvensional, yang ini perlu dirobohkan. Komuniti penulis indie mungkin boleh menjadi sinar harapan, dengan idea-idea segar yang mencabar status quo tetapi sesuatu yang mesra dengan persekitaran semasa. Mengapa tidak?\nDasar-dasar perlindungan kepada karyawan, persatuan dan industri perbukuan kreatif amat wajar dibincang dan diolah secepat mungkin. Sediakan payung sebelum hujan, kerana orang yang selalu basah setiap kali musim tengkujuh melanda \u2014 ialah orang yang bebal. Ya benar, manusia tidak mungkin kalis air. Tetapi ada banyak payung dan pakaian kalis hujan, yang boleh dicari dan dibeli. Sebelum monsun datang membadai lagi.\nSoalnya mudah sahaja, mahu atau tidak. Dalam zaman bencana yang bersimpang-siur, masihkah kita terlalu mengagungkan hak memilih daripada nilai survival (kemandirian)?\n_________________________\nRem Dambul atau nama sebenarnya Ramzah Dambul (Dr.) ialah seorang sarjana bidang sains atmosfera; yang gemar berpuisi, melukis dan berfantasi. Dalam dunia utopia, dia seekor murai sastera yang selalu berkicau di perbatasan sains. Antara karya bukunya termasuklah kumpulan puisi Alien Menchari Chinta (ITBM, 2012; Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012/2013),\u00a0Deja Vu Cinta Pencari Katarsis (ITBM, 2014), Dari Cinta kepada Cinta (ITBM, 2015), dan memoir perjalanan Bukan Travelog Haji di Bumi Anbia (Studio Anai Anai, 2017)." "Pelajar ASWARA Membicarakan Drama Pentas Anwar Ridhwan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSasterawan Negara (SN) Dato\u2019 Dr. Mohd Anwar Rethwan (Anwar Ridhwan) merupakan penulis yang dikenali mempunyai kuasa kepengarangan yang tinggi. Karyanya mempunyai gaya naratif simbolisme yang menyulam pemikiran kompleks dan tidak gentar menyentuh tentang kuasa, politik, ideologi, pembunuhan, isu masyarakat, dan isu global. Hal ini menjadikan karya sastera beliau menarik untuk dikaji dan dikupas.\nPada hari Jumaat, 21 Januari 2022, Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah menganjurkan Seminar Cereka Drama Pentas Karya SN Dato\u2019 Dr. Anwar Rethwan. Dalam seminar ini, sesi Bicara Drama Pentas Karya SN Anwar Ridhwan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook ASWARA. Sesi Bicara Drama Pentas ini merupakan salah satu kursus wajib pelajar tahun akhir Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem bagi membentangkan kertas kerja mereka dan dinilai oleh panel terpilih.\nAhli panel kali ini terdiri daripada Zakaria Ariffin (penulis skrip, pelakon dan pengarah teater, bekas pensyarah ASWARA), Syed Mohd Zakir Syed Othman (penulis dan pemenang SEA Write Award), dan Fasyali Fadzly Saipul Bahari (Dekan Fakulti Teater). Seminar ini dimudah cara oleh Puan Roziah Adama.\nTiga naskhah teater yang dipilih sebagai kajian oleh tiga kumpulan pelajar tahun akhir ialah Orang-orang Kecil (DBP, 1990), Yang Menjelma dan Menghilang (DBP, 1992) dan Rumah Septuagenarian: Kumpulan 7 Drama Pentas (Nusa Centre, 2021).\n\u201cCara Watak \u2018Orang-orang Kecil\u2019 Dikembangkan Melalui Petanda dalam Teks\u201d merupakan kajian Nurarifah Fatema Khairulsani, Rabiatul Adawiyah Shamsul Kamar dan Aliff Haiwal Roslan yang memilih tiga daripada 13 petanda teater Tadeusz Kowzan, iaitu dialog dan arahan pentas (gesture and movement). Fokus kajian adalah kepada tiga watak, iaitu Doktor, Peguam dan Mereka. Watak-watak tersebut menyimpulkan arahan pentas dan dialog sebagai medium untuk mengembangkan perwatakan watak. Watak yang konsisten ialah watak yang diingati, dan watak yang diingati bukan sahaja melalui kostum dan pergerakan yang besar. Kumpulan ini dinilai oleh Zakaria Ariffin.\nSiti Nurul Hayani Bahanudin, Nik Nur Athirah Mohd Hasmazi, dan Ain Hidayah Ahmad Bohari meneruskan pembentangan dengan \u201cPemikiran Anwar Ridhwan dalam Drama \u2018Yang Menjelma dan Menghilang\u2019\u201d. Tiga pemikiran yang dianalisis ialah pemikiran politik, Islamik dan kreatif. Pengarang menyerlahkan pemikirannya melalui plot, kompleksiti watak dan simbol-simbol tertentu melalui pengalaman yang mengalirkan bakat dan memberi keupayaan kepada penulis untuk menghasilkan karya yang matang dan berkesan. S.M. Zakir yang merupakan panel penilai menyatakan, naskhah ini kompleks untuk dikaji malah para sarjana dan penggiat industri kreatif mengalami kesukaran menangani skrip dengan jelas.\nSeminar diteruskan dengan pembentangan terakhir dengan tajuk \u201cKecelaruan Masyarakat dalam Kumpulan Drama Rumah Septuagenarian\u201d yang dibarisi oleh Naim Abd Aziz, Norrazila Idris dan Hafiz Fardillah Mohd Rosli. Drama-drama yang dipilih ialah \u201cMentee Politik\u201d, \u201cRumah Septuagenarian\u201d dan \u201cConcipies\u201d. Setiap drama ini mempunyai kecelaruan diri akibat tekanan dan pengalaman watak masing-masing menerusi kupasan dalam \u201cKecelaruan Masyarakat dalam Drama \u2018Concipies\u2019\u201d, \u201cMasyarakat Warga Emas dalam \u2018Rumah Spetuagenarian\u2019\u201d dan \u201cMasyarakat Rasuah dalam Drama \u2018Mentee Politik\u2019\u201d. Pembentang juga menyatakan pengarang cuba memberitahu bagaimana penyair dan sasterawan boleh berfungsi untuk berjuang dalam zamannya, seperti dalam drama \u201cMentee Politik\u201d. Kumpulan ini dinilai oleh Fasyali Fadzly.\nBagi menutup sesi, para penilai menyatakan kualiti pelajar mencapai standard yang baik, berupaya mengkaji naskhah yang sukar, dan turut menekankan kepentingan memahami konteks dengan lebih baik apabila mendalami naskhah.\nTonton acara bicara karya di sini." "Pengarang Malaysia Juarai Epigram Books Fiction Prize\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSingapura \u2013 Pengarang kelahiran Malaysia, Karina Robles Bahrin memenangi The Epigram Books Fiction Prize menerusi karyanya, The Accidental Malay.\nKemenangan ini merupakan kemenangan kali kedua untuk pengarang Malaysia. Sebelum ini, hadiah yang sama pernah dimenangi oleh Joshua Kam pada tahun 2020 menerusi karyanya, How The Man in Green Saved Pahang, and Possibly the World.\nKarina menerima RM78 ribu dalam siri ketujuh pertandingan itu yang terbuka kepada naskhah berbahasa Inggeris yang belum pernah diterbitkan.\nThe Epigram Books Fiction Prize yang dimulakan pada tahun 2015 awalnya untuk mempromosikan penulisan kreatif pengarang kontemporari Singapura. Walau bagaimanapun, sayembara ini dibuka kepada pengarang dari Asia Tenggara bermula tahun 2020.\nKemenangan Karina diumumkan secara dalam talian menerusi Facebook dan YouTube.\nThe Accidental Malay dimulakan pada bulan Mac 2020 ketika Malaysia dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan. Naskhah itu mengisahkan Jasmine Leong yang bercita-cita menjadi eksekutif chef di sebuah syarikat yang dimiliki oleh keluarga Leong. Namun begitu, Jasmine mula resah selepas mendapati beliau berketurunan Melayu daripada sebelah ibunya. Hal ini menyebabkan dia bimbang cita-citanya tidak kesampaian.\nNaskhah ini berlatarbelakangkan Malaysia dengan membawa isu mengenai polisi negara yang penuh perkauman tetapi wataknya tidak mahu menyerah diri kepada sejarah identiti yang membentuk dirinya.\nPertandingan itu menampilkan Profesor Shirlet Chew dari Universiti Teknologi Nanyang sebagai panel selain pengarang dan pemilik Buku Fixi, Amir Muhammad; Pengarah juga Pengasas Institut Teater Singapura, T Sasitharan; Presiden Association of Women for Action and Research Margaret Thomas; dan penerbit dari Epigram Books, Edmund Wee." "Mahasiswa MSU Tingkatkan Penguasaan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebanyak 196 orang mahasiswa Management & Science University (MSU) yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan latar belakang pendidikan telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Lawatan yang diketuai oleh dua orang pensyarah, iaitu Dr. Siti Rabiatul Adawiah Jaffar dan Cik Maliati Mohamad ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada mahasiswa tentang fungsi dan peranan DBP dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, di samping mengetahui tentang pembentukan kata, istilah dan proses penerbitan buku dan majalah DBP.\nDr. Siti Rabiatul Adawiah Jaffar menjelaskan bahawa kebanyakan mahasiswa yang mengikuti lawatan ini terdiri daripada pelbagai kursus. Ada yang mengambil subjek Bahasa Kebangsaan dan ada juga dari Kelab Bahasa Melayu MSU. Menurutnya lagi, baru-baru ini terdapat pelajar yang telah berjaya menghasilkan kamus digital dialek bahasa Melayu untuk subjek kursus mereka.\nHal ini menunjukkan perkembangan positif bahasa Melayu dalam kalangan mahasiswa MSU. Oleh itu, bagi mendapatkan maklumat tentang bahasa Melayu dengan lebih mudah, tepat dan betul, mahasiswa telah diperkenalkan dengan laman web yang sering digunakan oleh masyarakat umum untuk mendapatkan rujukan dan panduan tentang bahasa Melayu, iaitu Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), Khidmat Nasihat DBP (KNDBP), dan JendelaDBP.\nSesi lawatan dimulakan dengan taklimat dari Bahagian Perkamusan, yang memfokuskan sejarah penerbitan kamus dan pembentukan kata. Yang menariknya, taklimat ini turut diselangselikan dengan aktiviti kuiz dan ejaan. Semasa aktiviti roda kata, kebanyakan mahasiswa dapat menjawab soalan yang diberikan. Hal ini menunjukkan bahawa pengetahuan bahasa Melayu mahasiswa berada pada tahap yang baik dan boleh dibanggakan.\nMelalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi pula, mahasiswa telah diberikan pengetahuan tentang pembentukan istilah yang dikeluarkan oleh DBP. Mahasiswa juga telah diberikan beberapa contoh istilah semasa yang dikeluarkan dalam pelbagai bidang. Kebanyakan daripada mereka teruja dengan padanan istilah yang diberikan bagi perkataan tersebut.\nSementara itu, penerbitan buku, majalah dan jurnal merupakan antara penerbitan utama di DBP. Oleh itu, melalui Bahagian Buku Umum, mahasiswa MSU telah diberikan maklumat tentang proses penerbitan dan penyuntingan buku. Mahasiswa MSU daripada pelbagai bidang pengajian seperti Perakaunan, Perniagaan, Psikologi, Pereka Bentuk, Sains Kesihatan, dan Undang-undang, telah diberi pendedahan dan peluang untuk menerbitkan buku di DBP bagi menambah dan memperkaya koleksi penerbitan buku DBP.\nMelalui Akademi DBP pula, mahasiswa telah didedahkan dengan fungsi dan peranan Akademi untuk mengembangkan bahasa Melayu dengan menawarkan kursus penataran bahasa, sastera dan penerbitan pada peringkat serantau dan antarabangsa. Mahasiswa turut diberikan pendedahan kepada kursus Pusat Pembangunan Keilmuan dan Kemahiran Akademi DBP kerana sijil yang dikeluarkan itu diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.\nSelain itu, taklimat dari Bahagian Majalah pula memfokuskan penerbitan bercetak majalah dan jurnal, serta sohor kini yang boleh dicapai melalui laman web JendelaDBP. Berdasarkan 11 majalah bercetak, lapan daripadanya diterbikan dalam bentuk e-majalah yang mengandungi ruangan berita dan artikel. Dalam usaha untuk mempelbagaikan kandungan sohor kini e-majalah, mahasiswa juga digalakkan untuk menghantar karya dalam bentuk puisi, cerpen, artikel dan berita.\nSebelum berangkat pulang, mahasiswa dibawa ke Anjung DBP, iaitu kedai buku DBP untuk melihat produk penerbitan buku dalam pelbagai bidang. Selain itu, mereka turut dimaklumkan tentang Ujana DBP yang menawarkan khidmat jualan dan pameran buku di lokasi program atau aktiviti.\nProgram ini diharapkan dapat menjalinkan kerjasama yang erat antara DBP dengan MSU untuk melaksanakan program atau kegiatan bahasa, sastera dan penerbitan pada masa akan datang. Program seumpama ini juga merupakan antara inisiatif DBP untuk mendekati golongan remaja bagi bersama-sama memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara." "Pendedahan Konsep dan Elemen Penilaian Forum Remaja\u00a0kepada Guru Pembimbing\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Program Pemerkasaan Forum Remaja telah dilaksanakan dengan jayanya di Bilik Wacana, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, iaitu yang dianjurkan oleh Unit Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP Cawangan Sarawak dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak dan Pejabat Pendidikan Daerah Kuching. Pembimbing program pula terdiri daripada para pegawai dari DBP Cawangan Sarawak.\nProgram yang bersifat bimbingan ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para guru pembimbing berkaitan dengan konsep dan elemen penilaian Forum Remaja dan berjaya menghimpunkan para guru dari sekolah-sekolah menengah di Kuching.\nProgram ini merupakan rentetan daripada pelaksanaan Pertandingan Forum Remaja Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang telah menginjak usia 32 tahun penganjurannya sebagai usaha untuk meningkatkan mutu pasukan forum remaja agar Sarawak dapat melahirkan pasukan yang lebih mantap di pertandingan peringkat kebangsaan.\nDalam program tersebut, para peserta diberi bimbingan dan perkongsian berkaitan dengan tajuk Pengenalan Forum, Bahasa, Penyampaian dan Pengendalian Forum. Sesi bimbingan pula dimulakan oleh Encik Muhammad Haziq Zakaria, Perancang Bahasa di Unit Pembinaan Bakat dan Kepakaran yang memberikan pengenalan tentang Forum Remaja, kaedah memilih isi utama serta isi sampingan sebelum dihuraikan dalam hujahan oleh ahli panel.\nSelepasa itu, program diteruskan lagi dengan penerangan yang berkaitan dengan aspek bahasa yang diambil kira dalam pemarkahan Forum Remaja anjuran DBP. Aspek yang dibincangkan itu merangkumi sebutan, tatabahasa, diksi dan tautan idea dan telah disampaikan oleh Puan Askhairunisa Alwi, Perancang Bahasa dari Unit Promosi dan Pengiktirafan.\nSesi yang terakhir merupakan sesi perkongsian tentang pengendalian forum oleh Puan Intan Nur-Izzati Shabri, Penolong Perancang Bahasa dari Unit Pembinaan Bakat dan Kepakaran. Yang turut disentuh dalam penerangannya ialah aspek nada dan intonasi semasa berforum serta gaya penyampaian pengerusi sesi dan ahli panel yang akan dinilai oleh para hakim.\nSemasa program berlangsung, para guru memberikan respons yang sangat baik dan memberikan beberapa cadangan bagi meningkatkan mutu ahli pasukan forum dari Sarawak. Rakaman video Forum Remaja 2022 turut ditayangkan kepada para guru untuk diulas dari sudut kelebihan dan kekurangan yang dapat dikenal pasti daripada pasukan tersebut.\nTanpa meminggirkan bahagian lain di Sarawak, Program Pemerkasaan Forum Remaja sebelum ini telah berjaya dilaksanakan dan mendapat sambutan yang menggalakkan di Bahagian Miri dan Limbang. Program yang serupa juga pernah dijalankan dan melibatkan para guru pembimbing Forum Remaja di sekolah-sekolah menengah sekitar Bintulu.\nProgram pada hari ini diakhiri dengan sesi bergambar dan penyampaian sijil oleh Timbalan Pengarah Unit Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP Cawangan Sarawak, Encik Ja\u2019afar Haji Hamdan. Beliau juga menyatakan harapannya agar semua guru yang menghadiri program pada hari ini dapat melatih pelajar dengan lebih baik bagi menyertai Pertandingan Forum Remaja Peringkat Negeri Sarawak pada tahun hadapan." "Ayat yang Gramatis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\n\u00a0Adakah ayat di bawah ini gramatis?\n1. Barang-barang buatan negara kita setanding barang-barang yang diimport.\n2. Guru-guru diminta untuk memastikan supaya murid-murid tiada masalah di\nsekolah.\n3. Murid di sekolah itu teramat pandai sekali.\n\u00a0\nDaripada:\nKamarul Azli,\nKuantan, Pahang." "Fasih Berbahasa Melayu Tanggungjawab Setiap Rakyat Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cBahasa Jiwa Bangsa\u201d bukan hanya slogan semata-mata tetapi merupakan satu ikrar bagi seluruh rakyat Malaysia untuk taat berbahasa kebangsaan kerana bahasa adalah identiti bangsa Malaysia. Sehubungan dengan itu, \u201cRancangan Tutur Kita 2022: Manis Muka Molek Bicara\u201d anjuran Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa Pustaka (DBP) telah menampilkan seorang panel berbangsa Cina yang cukup terkenal dengan kemahirannya menguasai tiga bahasa, iaitu Encik Cheah Jin Seng yang juga seorang pengacara. Rancangan ini pula dikendalikan oleh Encik Azimin Daud (moderator) yang merupakan Perancang Bahasa di DBP.\nMenurut Encik Cheah Jin Seng, sebagai seorang rakyat Malaysia, menjadi seorang yang fasih berbahasa Melayu bukanlah satu pilihan tetapi menjadi suatu kewajiban. Hal ini demikian kerana bahasa kebangsaan merupakan identiti bangsa Malaysia. Pada masa yang sama, penguasaan bahasa lain tidak diketepikan. Beliau juga menegaskan bahawa fasih berbahasa kebangsaan perlu dijadikan keutamaan kerana bahasa ialah alat komunikasi setiap rakyat di negara ini.\nBeliau turut mengakui akan cabaran dan rintangan yang dihadapi yang berkaitan dengan isu penguasaan bahasa kebangsaan. Beliau kecewa kerana masih ada sebilangan rakyat Malaysia yang tidak fasih berbahasa dan tidak memahami bahasa kebangsaan.\nKalau anda tidak faham bahasa kebangsaan, bagaimanakah anda boleh mendapatkan informasi yang tepat dan sahih daripada saluran-saluran rasmi?.\nBagi beliau, individu yang ingin fasih berbahasa Melayu tidak boleh berasa takut untuk bertutur di hadapan khayalak. Latihan yang konsisten akan membantu seseorang itu fasih berbahasa.\nCakap sahaja. Kawan-kawan Melayu saya tidak pernah mentertawakan saya semasa saya tersilap dalam pengucapan malahan mereka memberikan panduan.\nBeliau turut menyatakan harapannya agar masyarakat Malaysia mengutamakan penguasaan berbahasa kebangsaan. Contohilah rakyat negara Indonesia dan Thailand yang mengamalkan bahasa kebangsaan untuk berkomunikasi." "Penggunaan Bahasa Melayu yang Baku dan Betul melalui Khidmat DBP Sah Bahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Rancangan \u201cCakna Bahasa\u201d BERNAMA Radio yang bersiaran pada pukul 3.30 petang tadi telah membincangkan perkhidmatan Sah Bahasa oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Tetamu undangan untuk siaran pada kali ini ialah Puan Fadhilah Ab. Bahar, Perancang Bahasa dari Bahagian Penguatkuasaan, DBP dan rancangan ini dikendalikan oleh Puan Hanie Hamid, Peneraju BERNAMA Radio.\nMenurut Puan Fadhilah Ab. Bahar, DBP Sah Bahasa ialah satu perkhidmatan untuk menyemak dan mengesahkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam iklan, penamaan nama khas dan dokumen. Perkhidmatan ini bertujuan untuk memastikan penggunaan bahasa Melayu yang baku dan betul dari segi ejaan, tanda baca, istilah dan tatabahasa adalah tepat dan sesuai mengikut konteks penggunaannya.\nBermula pada 24 Februari 2015, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diarahkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mewajibkan pengiklan dan agensi pengiklanan mendapatkan pengesahan bahasa Melayu yang baik dan betul daripada DBP sebelum mereka diberi lesen untuk menyiarkan iklan di tempat awam.\nTambah beliau, antara bahan-bahan yang disemak oleh DBP termasuklah papan iklan luar, iklan elektronik, iklan tiang, papan premis perniagaan, kain rentang, gegantung, notis makluman, pelabelan, poster dan badan kenderaan, manakala penamaan nama khas yang disahkan oleh DBP adalah seperti penamaan bangunan, kawasan perumahan, tempat awam dan jalan.\nPermohonan pengesahan bahasa Melayu dalam iklan ini boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web dbpsahbahasa.my atau melalui kunjungan kaunter di seluruh Malaysia, iaitu di Menara DBP Kuala Lumpur, Pejabat DBP Wilayah Selatan di Larkin Perdana, Johor, Pejabat DBP Wilayah Utara di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Pejabat DBP Wilayah Timur di Kota Bharu, Kelantan, Pejabat DBP Cawangan Sarawak dan Pejabat DBP Cawangan Sabah. Kaunter ini disediakan untuk memberikan tunjuk ajar kepada pelanggan tentang cara permohonan secara dalam talian. Waktu operasi kaunter di Menara DBP Kuala Lumpur adalah dari pukul 9.00 pagi hingga pukul 3.30 petang dan ditutup pada waktu rehat pada hari Jumaat dari pukul 12.15 tengah hari hingga pukul 2.45 petang, cuti hujung minggu dan cuti umum.\nBeliau turut menerangkan bahawa\u00a0 iklan akan diproses selama satu hari hingga tiga hari bekerja selepas bayaran dibuat. Sekiranya iklan tidak lulus, pemohon perlu membuat kemas kini (pembetulan) dan sekiranya iklan lulus, pemohon perlu memuat turun sijil pengesahan dan mengurus permohonan lesen untuk menyiarkan iklan di tempat awam daripada PBT. Caj yang dikenakan bergantung pada jenis iklan, iaitu RM30.00 untuk papan iklan luar, iklan elektronik, ikan tiang dan RM10.00 untuk jenis iklan yang lain. Tiada bayaran untuk iklan penamaan dan kemas kini.\nMenurut beliau, berdasarkan permohonan yang pernah disemak, pemohon kerap melakukan kesalahan yang berkaitan dengan ejaan, tatabahasa dan terjemahan.\nContohnya, perkataan \u201chidangan lambak\u201d yang ditulis \u201chidangan peluru\u201d, iaitu istilah terjemahan untuk jenis hidangan \u201cshellout\u201d dan terjemahan \u201cfood court\u201d yang sepatutnya menggunakan istilah \u201cmedan selera\u201d dan bukannya \u201cmahkamah makanan\u201d. Terjemahan istilah sebegini boleh didapati melalui laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM).\nMelalui perkhidmatan ini, pihak DBP berharap agar semua pihak dapat menggunakan bahasa Melayu yang baik, betul dan sopan agar penyampaian maklumat daripada satu pihak kepada pihak yang lain lebih jelas dan mudah difahami. Iklan juga melambangkan imej dan jati diri negara sesuai dengan slogan \u201cBahasa Jiwa Bangsa\u201d. Secara tidak langsung, pelancong asing dapat mempelajari bahasa Melayu yang baik, betul dan sopan melalui paparan iklan di tempat awam.\nUntuk sebarang rujukan berkaitan dengan ejaan, bahasa dan istilah, pelanggan ataupun pengguna bolehlah melayari laman web PRPM atau menghubungi talian utama DBP, iaitu 03-2147 9000." "Usah Pinggirkan Adab Pendidikan Bahasa Melayu dalam Era Digital\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur\u00a0\u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi telah menganjurkan Ceramah Umum Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) Bil. 2/2022 pada hari ini di Balai Seminar Tun. Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Aras 6, Wisma DBP. Program Ceramah Umum JKTBM pada kali ini mengundang penceramah khas dalam kalangan mantan ahli JKTBM, iaitu Prof. Dr. Hj. Abdul Rasid Jamian dari Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.\nDalam ceramahnya yang bertajuk \u201cAdab Pendidikan Bahasa Melayu dalam Era Digital\u201d, Prof. Dr. Hj. Abdul Rasid Jamian menekankan tentang pentingnya bahasa Melayu yang bukan sahaja sebagai alat komunikasi bahkan mempunyai peranan yang sangat besar dalam bidang pendidikan. Bahasa mencerminkan keikhlasan hati dan kesopanan budi bahasa serta mampu membentuk adab dan jati diri bangsa.\nDalam kita melatari dunia pendidikan ini, kita perlu berubah. Kita tidak boleh statik. Dalam erti kata lain, suasana iklim dan zaman telah menyebabkan status pendidikan kita berubah. Seiring dengan kemajuan bidang teknologi digital dan penggunaannya yang meluas khususnya dalam kalangan generasi muda, adab tidak boleh dipinggirkan. Bahasa sebagai suatu wahana memori bangsa yang berupaya membentuk jati diri cemerlang, minda yang tinggi dan nilai yang murni. Masyarakat perlu menjaga adab bukan sahaja dalam pendidikan bahkan dalam apa-apa jua bidang sekali pun.\nSementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran ketika berucap dalam majlis tersebut berkata, \u201cSeiring dengan peredaran masa kini yang menjurus kepada era pendigitalan, DBP sentiasa bersedia mendepani cabaran baharu. Satu daripada usaha DBP dalam dunia pendigitalan ini adalah dengan mewujudkan majalah secara dalam talian, iaitu JendelaDBP untuk tatapan masyarakat\u201c.\nJendelaDBP telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua lapisan pembaca. Selain daripada itu, pada 22 November 2022, DBP akan melancarkan kad perniagaan secara digital. Hal ini menunjukkan bahawa DBP sentiasa berpandangan jauh dan mengikuti arus perkembangan semasa.\nCeramah yang berlangsung selama dua jam ini telah dihadiri oleh lebih 100 orang peserta yang terdiri daripada pelajar, guru, pensyarah, karyawan DBP dan orang awam. Yang turut hadir mengikuti program ini ialah Tuan Haji Md Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP dan Encik Ab. Aziz Mamat, wakil Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia. Ceramah ini juga disiarkan secara langsung menerusi Facebook Langsung DBP." "Bahasa Melayu dalam Sistem Pendidikan Menyatupadukan Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Selain menjadi bahasa ilmu, bahasa Melayu juga merupakan satu daripada kurikulum terpenting dalam sukatan sistem pendidikan negara, iaitu sebermula dari peringkat sekolah hinggalah ke peringkat pengajian tinggi. Perkara ini membuktikan bahawa pendidikan bahasa Melayu di negara ini berterusan. Pendidikan bahasa Melayu yang dijadikan sebagai teras utama bukan sahaja melahirkan generasi yang berketerampilan berbahasa dalam proses penulisan dan komunikasi bahkan dapat membentuk generasi yang mencintai bahasa kebangsaan yang menjadi teras perpaduan negara.\nSehubungan dengan itu, program \u201cTutur Kita 2022: Kalau Bukan Kita Siapa Lagi\u201d, anjuran Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menampilkan seorang guru berpengalaman yang turut dikenali sebagai Cikgu Juilis Mokujal dari negeri Sabah untuk berkongsi perihal bahasa Melayu dalam lensa pendidikan. Program ini turut dikendalikan sepenuhnya oleh Encik Azimin Daud sebagai moderator yang merupakan Perancang Bahasa di DBP.\nLembaran sesi pada kali ini dibuka dengan perkongsian daripada Cikgu Juilis Mokujal berkenaan dengan pengalamannya menjadi seorang guru Bahasa Melayu di Sabah selama hampir 30 tahun. Menurut beliau, terdapat banyak cabaran dalam memastikan keberhasilan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan. Antara cabaran yang paling dekat termasuklah pengajaran Bahasa Melayu di peringkat sekolah yang melibatkan guru yang tidak mengambil opsyen Bahasa Melayu. Guru-guru yang tidak mengambil opsyen Bahasa Melayu dan mengajar Bahasa Melayu menghadapi kesukaran untuk mencari pendekatan dan strategi yang hendak digunakan ketika proses pengajaran dan pembelajaran.\nOleh sebab itulah beliau terpanggil untuk membantu guru-guru tersebut dengan penghasilan inovasi agar proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu berjalan dengan jayanya. Antara inovasi yang dihasilkan dan berjaya dilaksanakan termasuklah menerusi penciptaan lagu puisi dan novel RM2. Beliau turut menyatakan, hasil daripada penghasilan tersebut, sedikit banyak telah membuahkan hasil yang cukup ketara.\u00a0 Inovasi tersebut bukan sekadar memudahkan guru yang tidak mengambil opsyen Bahasa Melayu malah guru-guru yang mengambil opsyen Bahasa Melayu turut mendapat manfaatnya. Hal ini secara tidak langsung merangsang peningkatan prestasi akademik pelajar sekolah berkaitan dengan subjek Bahasa Melayu.\nBeliau turut menyatakan pendiriannya berkaitan dengan kepentingan bahasa Melayu dengan membuka ruang penyataan pendirian itu melalui dua persepsi. Yang pertama sebagai seorang guru dan yang kedua sebagai rakyat Malaysia. Beliau berpendapat bahawa setiap pelajar perlu menguasai subjek Bahasa Melayu yang merupakan subjek wajib lulus ketika mengambil peperiksaan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.\nSelain itu, beliau melihat kepentingan berbahasa kebangsaan ini perlu digembleng dan dipraktikkan oleh setiap rakyat di negara ini kerana beliau percaya bahawa bahasa Melayu bukan sekadar bahasa komunikasi atau bahasa ilmu malah sebagai bahasa yang membentuk perpaduan. Jelas beliau, sebagai rakyat Malaysia yang menetap di Sabah, 32 etnik di Sabah kebanyakannya boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik.Oleh itu, bahasa Melayu menjadi alat perpaduan selain sebagai bahasa percakapan dan bahasa rasmi\u201d.\nPada akhir sesi, beliau menyatakan harapannya terutama kepada rakan guru di seluruh Malaysia untuk terus kekal bersemangat memainkan peranan dalam memastikan kelangsungan pengaplikasian berbahasa kebangsaan. Baginya, guru bukan sekadar mendidik pelajar memahami subjek Bahasa Melayu, bahkan pada masa yang sama menanamkan rasa kecintaan terhadap bahasa Melayu. Beliau percaya bahawa guru ialah pempengaruh yang paling dekat dengan generasi muda.\nKita memerlukan iltizam dan perlu merealisasikan satu bangsa Malaysia yang mempunyai rasa cinta yang kuat terhadap bahasa Melayu.\nBeliau juga mengharapkan agar penghasilan kandungan pendidikan di media sosial terutamanya yang berkaitan dengan subjek Bahasa Melayu diperbanyak. Bagi beliau, usaha ini juga menjadi satu daripada penyumbang pengisian ilmu berkaitan dengan bahasa Melayu di negara ini." "Bahasa Membentuk Pemikiran Rasional dan Akhlak Molek\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Persoalan utama dalam falsafah bahasa Melayu merupakan hal yang tidak terbereskan kerana kita tidak pernah sampai kepada hal yang tuntas apabila membicarakan falsafah tersebut. Kita juga tidak mengetahui falsafah bahasa Melayu serta tidak maklum akan tradisi yang melatari cakerawala pemikiran kebudayaan kita yang seterusnya membawa kepada ketidakfahaman kepada asas falsafah bahasa Melayu itu sendiri. Oleh itu, pihak Toko Buku Pujangga Baru telah memilih untuk mengupas isu ini dengan menjemput Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia, yang juga kolumnis majalah Dewan Bahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu YBrs. Dr. Tarmizi Hasrah.\nMenurut beliau, dalam memikirkan reti bahasa, kita perlu menumpukan pada dua isu, iaitu warisan linguistik bahasa Melayu yang merupakan suatu warisan keilmuan dan ketidakadilan dalam mentafsirkan amalan pemerian nahu bahasa Melayu. Berdasarkan penemuan tulisan historiografi linguistik moden, timbulnya isu yang memaparkan pandangan yang menegaskan linguistik bahasa Melayu itu bukan suatu warisan ilmu tulen kecuali yang dipengaruhi oleh warisan linguistik bahasa Arab dan bahasa Eropah.\nTambah beliau, kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang sarjana bahasa Arab pada tahun 2019 menyebut bahawa dengan melihat karya historiografi linguistik, idea yang terkandung dalam karya Raja Ali Haji tidak boleh menyumbang kefahaman terhadap teori linguistik moden sebaliknya hanya beranggapan bahawa karya tersebut lebih sesuai kepada para peminat sejarah semata-mata.\nUsaha Akademi Jawi Malaysia yang begitu tuntas mengkaji tradisi bahasa Jawi harus diraikan yang menunjukkan bahawa bahasa Arab bukan sekadar mempengaruhi pengkajian bahasa tetapi pengaruhnya turut menerbitkan suatu warisan keilmuan linguistik bahasa Melayu.\nTerdapat komen yang menyatakan bahawa karya Raja Ali Haji tidak sistematik dan tatakaedah yang digunakannya berbeza dan lain daripada kaedah penyusunan kamus yang dilakukan oleh orang Belanda. Namun begitu, komen ini mempunyai ketidakadilan dalam memahami amalan pemerian nahu bahasa Melayu oleh Raja Ali Haji kerana mereka melihat karya tersebut dalam kerangka linguistik moden.\nOleh itu, beliau berkata, terdapat dua isu, iaitu warisan linguistik bahasa Melayu merupakan suatu warisan keilmuan dan ketidakadilan dalam mentafsirkan amalan pemerian nahu bahasa Melayu telah mengundang maksud kepada para pengkaji historiografi linguistik, iaitu linguistik Melayu bukanlah sesuatu warisan keilmuan yang tulen. Hal ini disebabkan oleh kegiatan pemerian nahu bahasa Melayu ketika itu hanyalah ehsan daripada bahasa atau tradisi fasafah yang lain.\nDalam usaha untuk menerbitkan dasar falsafah bahasa, kita perlu menggali warisan itu sendiri. Walau bagaimanapun, terdapat kekangan jika kita hanya ingin menggali warisan yang betul-betul tulen tanpa pengaruh bahasa lain kerana ketiadaan data. Kekangan itu dimudahkan dengan menggunakan karya pemerian nahu bahasa Melayu yang dibangunkan bermodelkan bahasa lain dengan syarat ditulis oleh para penahu watan selain membuat sedikit perbatasan masa, iaitu hanya mengkaji karya dalam tempoh 100 tahun sahaja.\nMenurut beliau, kefahaman yang diterapkan oleh linguistik moden terhadap pengertian bahasa berbeza sama sekali daripada kebudayaan yang berkaitan dengan makna bahasa kerana seseorang itu memahami makna bahasa yang mencakupi tatabahasa, adab, adat, budaya dan perilaku. Pengertian makna bahasa seperti ini sangat holistik dan gagal diserlahkan dalam penulisan nahu moden yang menggunakan teori linguistik moden. Pada pandangan beliau, suatu kerangka umum falsafah bahasa Melayu yang ingin dibangunkan mesti melibatkan kesemua elemen ini\nReti bahasa bermaksud, kita mengetahui bahasa, iaitu bukan sekadar faham apa-apa yang diujarkan oleh seseorangbahkan reti dan tahu menempatkan diri dalam konteks pertuturan dan konteks perlakuan serta konteks kebudayaannya.\nTambah beliau, falsafah itu mestilah merujuk suatu kerangka umum yang bertujuan untuk menjelaskan mekanisme penggunaan bahasa yang diterbitkan daripada hukum atau struktur abstrak dalam akal yang melahirkan fakta linguistik konkrit, iaitu merujuk tatabahasa. Daripada struktur tatabahasa, hubungan antara tatabahasa dengan lakuan penuturnya, iaitu dari segi akhlaknya perlu dijelaskan. Falsafah itu juga perlu merungkaikan struktur yang abstrak dan fakta linguistik yang konkrit dengan kesedaran akal dan akhlak penuturnya. Falsafah itu pada akhirnya akan membantu para penutur bahasa Melayu membentuk pemikiran yang rasional dan akhlak yang molek.\nSiri Syarahan Susastera siri ketujuh yang bersiaran selama hampir satu jam setengah ini boleh ditonton secara dalam talian melalui saluran Facebook penganjur, https://www.facebook.com/tokobukupujanggabaru/videos/1569189873531852." "Apresiasi Seni Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Pada hari ini berlangsungnya Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Deklamasi Puisi dan Lagu Puisi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan. Sayembara yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Sarawak dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2021/2022 ini telah berlangsung sejak hujung Disember 2021 hingga September 2022.\nProgram sayembara tajaan geran daripada Kementerian Belia dan Sukan ini telah dilaksanakan dengan jayanya melalui kolaborasi antara pihak UiTM Cawangan Sarawak dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dan Perpustakaan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).\nTujuan utama penganjuran Sayembara Deklamasi Puisi dan Lagu Puisi adalah untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Selain itu, penganjuran program ini berupaya mencungkil bakat dan menyemai minat para mahasiswa dan pelajar sekolah melalui apresiasi sastera. Secara tidak langsung, program tersebut dapat membentuk minda kreatif, praktikal dan produktif dalam kalangan golongan muda pada zaman ini.\nTimbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Sarawak, Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Mohammad Isa Mohammadin menyatakan rasa bangganya terhadap penglibatan generasi muda yang mempunyai bakat luar biasa dalam kegiatan apresiasi seni, dalam ucapannya yang telah disampaikan oleh Puan Nurhayati Umar, Penolong Pendaftar Kanan Hal Ehwal Pelajar, UiTM Cawangan Sarawak yang mewakili beliau pada hari ini. Beliau berpesan,\nSeiringkan bakat seni dengan pencapaian anda dalam pelajaran.\nProgram Sayembara Deklamasi Puisi dan Lagu Puisi telah dilaksanakan secara dalam talian dengan mengambil kira situasi era pascapandemik COVID-19, sekali gus memberikan peluang kepada para peserta untuk menggunakan daya usaha kreatif dalam menghasilkan persembahan yang terbaik tanpa bersemuka. Penyertaan sayembara terbahagi kepada dua peringkat, iaitu peringkat Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan peringkat sekolah. Peringkat IPTA melibatkan penyertaan kakitangan dan mahasiswa daripada 14 buah kampus cawangan UiTM di seluruh Malaysia manakala peringkat sekolah pula mempertandingkan peserta daripada 30 buah sekolah menengah dan sekolah rendah di Zon Kuching, Sarawak.\nPeserta dari Sekolah Seni Malaysia Sarawak telah mendahului sekolah lain dengan memenangi dua hadiah, iaitu Johan Peringkat Sekolah Menengah bagi Sayembara Deklamasi Puisi dan Pertandingan Lagu Puisi manakala peserta dari Sekolah Kebangsaan Bandar Samariang telah merangkul Johan Sayembara Deklamasi Puisi Peringkat Sekolah Rendah. Sabarudin Ahmad dari Kampus UiTM Cawangan Sarawak pula muncul sebagai Johan Pertandingan Lagu Puisi Kategori Terbuka.\nBagi Sayembara Lagu Puisi Peringkat UiTM Se-Malaysia pula, Khairul Anuar Ab. Hamid dari Kampus UiTM Cawangan Kelantan dan Batricia Supang Kirew dari Kampus UiTM Cawangan Sarawak, masing-masing muncul sebagai Johan Kategori Kakitangan UiTM dan Kategori Mahasiswa.\nMajlis Penyampaian Hadiah Sayembara Deklamasi Puisi dan Lagu Puisi UiTM Cawangan Sarawak ini turut diserikan dengan persembahan petikan gitar secara langsung oleh Awangku Aiman Farhan Awang Juffry Fahamy, mahasiswa UiTM Cawangan Sarawak. Para hadirin turut disajikan dengan tayangan montaj Sayembara Deklamasi Puisi dan Lagu Puisi serta persembahan oleh wakil staf dan pelajar UiTM Cawangan Sarawak.\nMajlis ini diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata oleh pihak UiTM Cawangan Sarawak kepada pihak DBKU dan DBP Cawangan Sarawak. Pihak UiTM turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada DBP Cawangan Sarawak atas komitmen dan sumbangan kepakaran dalam menjayakan sayembara tersebut serta berharap agar sinergi yang baik ini dapat diteruskan pada masa akan datang." "Kemeriahan Aktiviti Berkonsepkan Pendidikan Kebahasaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Temasya Bahasa 2022 bersempena dengan program Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan yang dilaksanakan oleh Bahagian Perkamusan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menutup tirai penganjurannya pada hari ini dengan meriah sekali. Dianggarkan lebih daripada 400 orang pengunjung yang kelihatan begitu seronok dan bersemangat mengunjungi aneka reruai yang bertemakan celik bahasa, di samping meninjau pelbagai pertandingan yang berlangsung secara serentak di Kompleks Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (2).\nMajlis penutupan program Temasya Bahasa Putrajaya 2022 ini disempurnakan oleh YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP. Dalam ucapannya itu, beliau menyuarakan kelegaan dan keterujaannya melihat generasi Z dan generasi alfa pada kali ini menggunakan kesempatan pada hari minggu di luar rumah dengan memanfaatkan aktiviti yang berkonsepkan pendidikan kebahasaan di celah kemajuan informasi dan keasyikan aktiviti media sosial.\nAntara pertandingan yang diadakan secara serentak termasuklah Pertandingan Pencak Aksara Kategori Sekolah Rendah, Pencak Aksara Kategori Sekolah Menengah, Pertandingan Baca Naskhah Klasik Kategori Sekolah Menengah, Pertandingan Dengarlah Ceritaku Kategori Sekolah Rendah dan Pertandingan Mewarna Prasekolah.\nTerdahulu, YBrs. Puan Hajah Farizah Haji Ahmad, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya telah sudi merasmikan program Temasya Bahasa Putrajaya 2022, yang disusuli dengan acara senamrobik yang menghangatkan lagi suasana pagi yang disertai oleh hampir 100 orang pelajar sekolah hos.\nBanyak peserta cilik menampilkan kehandalan mengeja dalam bahasa Melayu, mempersembahkan cerita dan mewarna, serta tidak kurang juga anak-anak remaja yang menonjolkan bakat membaca naskhah Melayu klasik yang bertulisan Jawi. Sebelum penutupan temasya pada sebelah tengah hari, pusingan akhir Pertandingan Pencak Aksara Sekolah Menengah telah menarik tumpuan orang ramai yang menyaksikan persaingan enam peserta di pentas utama. Para pemenang pertandingan ini diumumkan pada akhir acara penutupan temasya.\n\u00a0\nSekolah hos yang menjadi tempat berlangsungnya acara ini ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (2), yang bergabung tenaga dengan Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (3). Tarikan aktiviti dan permainan bahasa di reruai yang menjadi tumpuan ialah Roda Kata, Dam Bahasa, Celik Jawi, Sahibba Chopp dan jualan produk DBP oleh Ujana Buku." "Cungkil Bakat Baharu melalui Sayembara Deklamasi Puisi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Sebanyak 20 orang pelajar sekolah rendah dan menengah telah berentap di pentas akhir Sayembara Deklamasi Puisi bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Kelantan, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dan Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) baru-baru ini. Majlis perasmian dan penyampaian hadiah pula telah disempurnakan oleh Puan Ariza Haji Che Ismail, Pengarah DBPWT. Yang turut hadir memeriahkan program ialah Encik Zainal Abidin Muhammad (Ketua 1 GEMA).\nDalam ucapannya, Puan Ariza menggesa agar penganjuran sayembara ini dimantapkan dan dibawa ke platform yang lebih besar agar bakat-bakat baharu dalam program deklamasi puisi dapat dicungkil. Beliau juga berharap agar sayembara ini akan terus bertapak dengan menggalakkan pelajar mencipta dan mendeklamasikan sendiri puisi yang dihasilkan, khususnya puisi dalam bidang sains dan teknologi. Usaha ini dapat menggalakkan para pelajar menggunakan bahasa dan istilah yang betul dan pada masa yang sama menyebarkannya menerusi platform sastera.\nBeliau menyifatkan acara sastera (deklamasi puisi) menunjukkan perkembangan yang sangat positif apabila mendapat penyertaan khalayak peserta daripada pelajar aliran sains, teknikal dan vokasional.\nTambah beliau, program ini amat wajar dilaksanakan bagi menyambung usaha pengembangan dan pemasyarakatan sastera melalui pendeklamasian puisi yang amat sinonim dengan masyarakat Wilayah Timur khususnya di negeri Kelantan.\nMenurut beliau, program ini juga dapat menjadi tapak latihan dan penunjuk utama terhadap kualiti persembahan deklamasi puisi. Sehubungan dengan itu, wadah yang selama ini sudah dibina dan diperakui keberkesanannya dengan kerjasama persatuan penulis tempatan dalam pengembangan sastera kepada masyarakat haruslah disokong.\nSementara itu, johan Kategori Sekolah Menengah telah dimenangi oleh Nur Syauqina Mazlan (SMK Dato\u2019 Perdana). Naib johan dan tempat ketiga pula diraih oleh Naeema Natasya Puteri Mohd Ghazali (SMK Pengkalan Chepa) dan Wan Mayzatul A\u2019isyah Wan Hazman (Maahad Muhammadi Perempuan Kota Bharu).\nYang turut memenangi hadiah tempat keempat hingga keenam untuk kategori ini ialah Wan Arif Farhan Azhar (SM Sains Tengku Faris Petra), Adam Muhammad Shardy (Kolej Vokasional Pengkalan Chepa), dan Nur Syifaa\u2019 Nadiah\u00a0 Mohd Mazdi (SMK Agama Naim Lilbanat Kota Bharu).\nSebanyak empat hadiah sagu hati menjadi milik Muhammad Azim Ab. Latif (SMK Dato\u2019 Perdana), Muhammad Dinie Aieman Mohd Zuwairimuzri Adha (SM Sains Tengku Faris Petra), Nur Izzah Zulfah Ab. Manah (SMK Sultan Ibrahim 1, Pasir Mas) dan Muhammad Isyraf Ajwad Adnan (SMK Agama Melor).\nBagi Kategori Sekolah Rendah pula, Syarifah Muzfirah Syed Akmal (SK Islah, Kota Bharu) telah dinobatkan sebagai johan, manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing dimenangi oleh Muhammad Bukhari Mohd Ilman (SK Buloh Poh, Kota Bharu), dan Nurul Aimy Insyirah Muhammad (SK Penambang).\nPemenang hadiah keempat hingga keenam terdiri daripada Muhammad Soleh Zikrie Mohd Shakirurahman (SK Pak Pura), Amna Naleysha Maizu (SK Sungai Terah) dan Wan Nur Syahirah Wan Aziz (SK Perala).\nHadiah sagu hati pula menjadi milik Adam Hadif Anaqi Mohd Ezham (SK Islah), Aufa Faizah Mohd Nor Hashri (SK Islah), Mohd Aqil Wadihan Yuswardi (SK Raja Bahar) dan Nur Aini Suffiyah (SK Kubang Kerian 3).\nTerdahulu, penganjuran sayembara ini telah dicetuskan oleh DBPWT dan GEMA sejak tahun 2001 dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan. Tujuannya adalah untuk menyokong usaha pemartabatan bahasa dan sastera kebangsaan yang dilaksanakan di bawah geran Bulan Bahasa dan Sastera Negara, Bulan Bahasa Kebangsaan, Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan dan yang terkini Dekad Bahasa Kebangsaan.\nDalam tempoh 21 tahun, program ini menjadi acara yang ditunggu-tunggu oleh pelajar sekolah dan mendapat penyertaan ratusan pelajar saban tahun. Program ini juga telah banyak melahirkan para deklamator tempatan yang menembusi acara pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa melalui pelbagai peringkat umur sama ada kanak-kanak, remaja, dewasa dan etnik." "Maksimumkan Teknologi Digital ke Arah Memperkasakan Bahasa dan Sastera Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Dalam mengikuti perkembangan era digital yang semakin meluas, usaha untuk memartabatkan bahasa dan sastera Melayu perlu diperkasakan lagi secara terus-menerus. Para penulis dan penerbit juga seharusnya terus bergerak seiring dengan perkembangan zaman dalam mengangkat dan mendukung bahasa Melayu.\nLandskap baharu perkembangan digital sewajarnya digunakan dengan tahap maksimum untuk membawa bahasa dan sastera Melayu ke mercu yang lebih baik. Peranan serta keindahan bahasa dan sastera Melayu perlu digunakan sepenuhnya walaupun kita kini berada pada zaman sains dan teknologi yang pesat membangun. Bahkan hal ini seharusnya menjadi ikonik dalam menghadapi era globalisasi yang semakin rencam.\nDemikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyaksikan simbolik penyerahan van jenazah yang diwakafkan oleh Syarikat Tradewinds International melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Mohd Nazim Mohd Noor kepada Encik Syed Abu Bakar Syed Kamal Bharin Jamalullail, selaku Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al-Mursyid Pauh Guring baru-baru ini.\nPada program yang sama, Tuanku Raja Muda selaku Yang DiPertua menyerahkan sumbangan MAIPs yang berjumlah RM21 000 kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid yang sama untuk diagihkan oleh amilnya, Encik Ku Mat Isa Ku Ismail. Masing-masing akan menerima RM700 setiap seorang.\nTuanku Syed Faizuddin Putra juga bertitah,\nPelbagai usaha di peringkat antarabangsa telah pun dilaksanakan untuk mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa supranasional, iaitu bahasa serantau dan bahasa antarabangsa, seperti pada zaman kegemilangan kerajaan Kesultanan Melayu suatu ketika dahulu dan amatlah penting agar usaha ini turut disokong oleh segenap lapisan peringkat terutama sekali di peringkat tempatan untuk lebih memperkasakan usaha-usaha tersebut.\nEncik Mohd Nazim pula menambah bahawa,\nDengan merujuk prinsip Keluhuran Perlembagaan dalam Rukun Negara melalui Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu. Maka bahasa Melayu sepatutnya diletakkan mengatasi bahasa lain selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Bahasa Melayu juga sepatutnya menjadi bahasa yang diagungkan dan dibanggakan oleh seluruh lapisan masyarakat dan institusi ilmu di Malaysia." "Memperkasakan Pasukan Forum Remaja Negeri Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSibu \u2013 Program Pemerkasaan Forum Remaja Bahagian Sibu telah berlangsung pada hari ini yang bermula pada pukul 8.00 pagi hingga pukul 1.30 tengah hari di Hotel Premier, Sibu, Sarawak. Program ini merupakan program bimbingan siri keempat yang dilaksanakan oleh Unit Promosi dan Pengiktirafan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak selepas berjaya dilaksanakan di Bahagian Miri (Bintulu dan Miri), Bahagian Limbang dan Bahagian Kuching.\nProgram ini merupakan anjuran DBP Cawangan Sarawak dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak dan Pejabat Pendidikan Daerah Sibu. Sebanyak 24 orang guru yang merupakan guru pembimbing pasukan Forum Remaja dan juga guru baharu yang berminat menjadi guru pembimbing pada masa akan datang terlibat dalam program ini yang berlangsung selama setengah hari.\nFokus program ini adalah berkaitan dengan elemen penting dalam penghakiman Forum Remaja Peringkat Kebangsaan, iaitu konsep forum, aspek bahasa, sebutan baku dan juga pengendalian forum. Sesi bimbingan ini pula telah disampaikan oleh pegawai dari DBP Cawangan Sarawak, iaitu Encik Ja\u2019afar Haji Hamdan, Puan Stephanie Lenya Chaong, Puan Askhairunisa Alwi dan Puan Intan Nur-Izzati Shabri.\nMelalui pelaksanaan program ini, DBP Cawangan Sarawak telah mendapatkan beberapa input daripada para peserta bagi menambah baik kaedah pelaksanaan program. Hasilnya, ada peserta yang mencadangkan agar program bimbingan ini dapat dilaksanakan dalam tempoh masa yang lebih panjang dengan memasukkan sesi praktikal. Para peserta turut mencadangkan supaya diadakan sesi pemerahan otak dan berkongsi tip penyediaan isi forum yang mantap yang dapat memancing audiens dan panel hakim.\nUrus setia juga telah menerima respons yang positif dan menggalakkan daripada para peserta. Pelaksanaan program ini disambut baik, bahkan mendapat cadangan agar turut diperluas dengan penyertaan guru mata pelajaran Bahasa Melayu dan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).\nProgram Pemerkasaan Forum Remaja ini merupakan program khas dalam rangka mempertingkatkan mutu pasukan Forum Remaja di negeri Sarawak dengan mengambil kira komen dan laporan para hakim terhadap pasukan Forum Remaja yang mewakili Sarawak di peringkat kebangsaan.\nProgram ini diharapkan dapat membantu guru pembimbing memperbaik mutu persembahan pasukan yang bukan sahaja dalam menyampaikan hujah, bahkan merangkumi kebolehan mengungkapkan buah fikiran dalam bahasa Melayu baku dengan baik dan berkesan di pentas forum." "DBP Teguh Berjuang dalam Mendaulatkan Bahasa Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2212 Tarikh 22 Jun merupakan hari yang sangat besar ertinya dalam sejarah perkembangan bahasa Melayu di negara ini. Pada tarikh inilah lahirnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang muncul sebagai nama dari suatu sejarah. \u201cAksara Nan Hidup Sepanjang Zaman\u201d menjadi tema sambutan ulang tahun DBP pada tahun ini. Sehubungan dengan itu, DBP akan mengadakan Majlis Sambutan Ulang Tahun DBP ke-65 pada 22 Jun 2021 (Selasa), pukul 9.00 pagi secara dalam talian. Majlis ini akan dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Pendidikan Malaysia.\n\nDalam majlis ini juga, DBP akan melancarkan Pelan Strategik DBP 2021-2025 sebagai simbol kesediaan DBP meneroka lebih banyak potensi bagi meluaskan peranannya dalam kepesatan dunia digital, maklumat dan Revolusi Industri 4.0. Forum Khas juga akan diadakan selepas berakhirnya majlis sambutan itu yang akan membariskan beberapa orang panel jemputan, iaitu Tuan Haji Nazri Kahar (Penerbit Eksekutif, ASTRO Awani), Prof. Madya Ts Dr. Jessica Ong Hai Liaw (Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Korporat, Jaringan Industri dan Perhubungan Antarabangsa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia) dan Encik Logesh Kumaar (Pengarah, Perancang Strategi Media, Firewood Marketing, Amerika Syarikat) serta Dr. Norzizi Zulkifli (Ketua Pusat Pengajian Teater, Universiti Teknologi MARA) sebagai moderator, yang akan membincangkan tentang isu serta cabaran DBP yang bertepatan dengan tema sambutan ulang tahun pada kali ini. Majlis Bacaan Surah Yasin dan Tahlil serta Ceramah Khas pula akan diadakan pada 23 Jun 2021 (Rabu), bermula pada pukul 8.00 pagi.\n\nBerdepan dengan cabaran pandemik COVID-19, DBP turut mengambil inisiatif dengan mempelbagaikan medium penyebaran demi memastikan kegiatan pengembangan bahasa dan sastera kebangsaan tetap dilaksanakan dan sampai kepada khalayaknya. Walaupun sambutan ulang tahun DBP pada kali ini tidak dapat dilaksanakan secara bersemuka seperti kebiasaannya, DBP menjadikan landasan media sosial sebagai laluan agar masyarakat dapat turut merasa denyut nadi perjuangan mendaulatkan bahasa kebangsaan.\nBertemakan \u201cAksara Nan Hidup Sepanjang Zaman\u201d, DBP turut mengajak masyarakat untuk lebih memahami asas penubuhan DBP dengan siaran infografik Pertama di DBP melalui media sosial DBP Malaysia (Facebook, Twitter, Instagram dan Telegram). Infografik ini akan memaparkan sejarah DBP yang meliputi pentadbiran, penerbitan, pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera kebangsaan sejak tahun 1956 hingga kini.\nBagi menyokong keghairahan masyarakat berpantun dalam ruangan komen media sosial DBP, DBP juga menganjurkan program Adik Berpantun bersempena dengan sambutan ulang tahun DBP ke-65. Pada kali ini, DBP mengajak kanak-kanak seawal usia lima tahun untuk berpantun yang pastinya mengundang pelbagai gelagat yang mencuit hati sewaktu sesi rakaman oleh ibu bapa. Video yang terpilih turut disiarkan melalui media sosial DBP dan melalui saluran Didik TV, Kementerian Pendidikan Malaysia.\nSepanjang bulan Jun ini juga, tersedia pelbagai pertandingan yang boleh disertai oleh orang ramai seperti Pertandingan Seni Coret Jawi dan Pertandingan Korus. Maklumat terkini mengenai aktiviti yang dilaksanakan serta pertandingan yang dianjurkan boleh didapati melalui media sosial DBP Malaysia. Pelbagai hadiah menarik juga disediakan berserta sijil penyertaan kepada para peserta." "Program Pembakuan Bahasa untuk Pendidik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSibu \u2013 Program Pemerkasaan Forum Remaja pada hari ini memfokuskan elemen penilaian dalam pertandingan Forum Remaja dan perkongsian tentang pembakuan bahasa yang merupakan tujuan utama penganjurannya. Para peserta program ini terdiri daripada pendidik dari sekolah menengah di bahagian Sarikei, Mukah dan Kapit.\nProgram Pemerkasaan Forum Remaja ini anjuran bersama Unit Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan Kerajaan Negeri Sarawak dan Pejabat Pendidikan Daerah Sarikei, Mukah dan Kapit. Ketiga-tiga bandar ini merupakan bandar kecil di Sarawak yang mengambil masa selama satu jam hingga tiga jam perjalanan ke Sibu dengan menaiki kenderaan melalui lebuh raya Pan-Borneo yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan.\nPeribahasa mengatakan bahawa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Perjalanan yang memakan masa selama berjam-jam ini tidak mampu mematahkan semangat para guru dari bandar-bandar tersebut untuk mengambil peluang menyertai program ilmu ini. Hotel Premier yang bertaraf tiga bintang di Sibu dipilih oleh pihak urus setia sebagai lokasi program pada kali ini dan penginapan para peserta untuk satu malam pula turut ditaja oleh pihak penganjur di hotel yang sama.\nPara peserta menunjukkan pelibatan yang baik sepanjang sesi perkongsian ilmu dengan bertanyakan pelbagai soalan berkenaan dengan pembinaan judul sehinggalah kepada pemilihan isi utama dan isi sampingan dalam forum. Tema yang diberikan oleh pembimbing pada sesi sumbang saran adalah dari aspek ekonomi. Rata-rata peserta bersemangat memugarkan idea dan bersoal jawab dengan para pembimbing bagi meningkatkan pemahaman dalam membina judul yang menarik. Senario sebegini amat diperlukan dalam program yang berunsurkan bimbingan bagi memperoleh input yang baharu dan segar.\nDi samping itu, penggunaan laras bahasa yang tepat juga disentuh dalam sesi perkongsian pada hari ini seperti laras bahasa sukan, agama, sains dan sebagainya. Pada masa yang sama, para peserta diingatkan supaya merujuk laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu DBP untuk mendapatkan khidmat nasihat bahasa yang diperlukan.\nPara peserta juga dipelawa untuk menghantar karya penulisan cerpen, puisi, esei kritikan, artikel dan berita kegiatan kepada editor DBP Cawangan Sarawak untuk disiarkan dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera (WBS), dan Yang Indah Itu Bahasa (YIIB) dalam akhbar Utusan Sarawak dan Utusan Borneo. Selain itu, laman web Jendela DBP dan e-Borneo turut dipromosikan kepada para peserta dengan harapan agar maklumat tersebut dapat disebarkan dan dikongsikan kepada rakan-rakan yang lain." "Meraikan Pilihan Raya Secara Sopan Berbahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Selain menjadi alat komunikasi, bahasa juga merupakan teras kelangsungan demokrasi. Bahasa juga menyatukan pemimpin dan rakyat. Sehubungan dengan itu, menjelang hari pembuangan undi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Rancangan Lidah Rakyat: Canai Bahasa dan Sastera memfokuskan komunikasi dan pilihan raya.\nPanel undangan pertama, iaitu Dr. G. Manimaran Govindasamy merupakan penganalisis pilihan raya, sementara panel yang kedua ialah Prof. Madya Dr. Sharifah Syahirah S. Shikh, iaitu Pensyarah Kanan di Fakulti Pendidikan, Kemanusiaan dan Sastera Kolej Universiti Poly-Tech MARA. Sesi pada kali ini dikendalikan sepenuhnya oleh Encik Abdul Ghani Abu.\nMenurut Dr. G. Manimaran Govindasamy, kehangatan PRU ketika ini menyebabkan berlakunya satu keadaan yang \u201cserius\u201d sehingga satu komponen terpenting, yakni bahasa kelihatan semakin dilupakan sedangkan bahasa merupakan elemen terpenting yang perlu dititikberatkan. Beliau menyatakan bahawa bahasa itu menentukan kejayaan seorang calon atau sesebuah parti.\nBeliau turut berpendapat bahawa kematangan berpolitik boleh diukur melalui penggunaan bahasa, iaitu melalui kesantunan berbahasa yang dipraktikkan terutamanya ketika berkempen. Beliau juga menyatakan kegusarannya berkaitan dengan kerancuan berbahasa ketika pilihan raya.\nSatu perkara yang kurang diberi perhatian dalam pilihan raya ialah bahasa yang bercampur aduk. Sekiranya bahasa tidak menggunakan istilah yang betul atau tidak digunakan dengan betul dan dengan nada yang marah, mesej tidak akan sampai. Bahasa yang molek akan memperlihatkan keperibadian dan kematangan seseorang yang pada akhirnya mampu memberikan sumbangan\u00a0 atau kemenangan dalam PRU. Bahasa merupakan satu aset. Bukan sahaja untuk seseorang calon itu menang, bahasa juga sebagai aset untuk pengundi memilih calon yang terbaik.\nTambah beliau, bahasa dilihat menjadi teras utama kelangsungan seseorang calon atau sesebuah parti politik. Selain itu, rantaian penggunaan bahasa perlu seiring bermula daripada kepimpinan tertinggi hingga ke peringkat jentera akar umbi. Jika keperihatinan berbahasa hanya dipraktikkan oleh pemimpin tertinggi tetapi tidak pada peringkat akar umbi, maka akan memberikan kesan terhadap penerimaan pengundi. Begitu juga sebaliknya. Perlu ada keselarian rantaian penggunaan bahasa.\nSementara itu, menurut Prof. Madya Dr. Sharifah Syahirah S. Shikh, PRU merupakan satu suasana merayakan atau meraikan demokrasi di negara ini. Dalam fasa merayakan atau meraikan demokrasi ini, kepentingan kesantunan berbahasa itu perlu dititikberatkan.\nKita perlu ingat bahawa kita meraikan sesuatu yang amat baik, iaitu pilihan raya. Jika semasa kita meraikan itu, ada golongan yang menggunakan bahasa yang tidak molek, kita kena menegur, mengkritik dan menolak kerana hal ini akan mencipta pembentukan budaya kerana mereka terdedah dan berjumpa dengan banyak orang. Oleh tu, para penceramah politik janganlah sesekali mengorbankan Rukun Negara yang kelima, iaitu kesopanan dan kesusilaan.\nTambahnya lagi, negara ini pada fasa kini sedang bergerak menuju ke fasa demokratik matang. Oleh sebab itulah, pada dekad ini rakyat bukan sekadar menjadi pengundi, malah menjadi penilai dan pemantau gerak-geri parti politik.\nKita hendak menuju ke arah negara demokratik matang, iaitu semua ahli politik dapat memujuk, mengetengahkan fakta dan berhujah secara profesional tanpa elemen yang negatif kerana kini masanya untuk meraih. Oleh itu, ahli politik dan penceramah politik, molekkanlah bahasa supaya kita semua dapat meraih PRU ini dengan baik.\nPada akhir perkongsiannya, beliau sempat menyatakan harapannya.\nSesungguhnya PRU ini mengangkat hak dan kebebasan untuk kita memilih. Hak kebebasan untuk berkomunikasi. Kita berada dalam satu negara yang dapat berkomunikasi secara terbuka. Namun begitu, ingatlah bahawa daripada kebebasan itu datangnya tanggungjawab. Maka menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan bahasa atau cara berkomunikasi yang digunakan dapat menjadikan bangsa Malaysia sebagai bangsa yang disegani." "Ubah Sikap untuk Memartabatkan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara Malaysia masih menjadi isu yang perlu diberi perhatian kerana kedudukannya yang masih dipersoalkan oleh segelintir masyarakat. Dalam mengulas dan membincangkan dengan lebih lanjut berkaitan dengan hal ini, pihak BERNAMA Radio telah menjemput Felo Majlis Profesor Negara, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong dalam slot \u201cPemikir Negara\u201d kelolaan penyampainya, iaitu Ziana Nasir.\nMenurut beliau, bahasa Melayu merupakan satu-satunya bahasa di dunia yang tidak dihormati sepenuhnya oleh warganegaranya sendiri sedangkan bahasa tersebut mewakili segenap lapisan masyarakat dan seluruh pelosok tanah air.\nMasih ada warganegara terutamanya dalam kalangan kaum bukan Melayu yang belum boleh berbahasa Melayu dengan baik sedangkan negara kita telah 65 tahun merdeka dan Persekutuan Malaysia pula telah pun 59 tahun terbentuk.\nKatanya lagi, perkara yang menyedihkan ialah ada dalam kalangan kaum Melayu sendiri yang mempertikaikan kemampuan bahasa Melayu untuk memandaikan anak bangsa dan membangunkan negara ini. Walaupun hanya segelintir yang mempunyai pandangan tersebut tetapi sebenarnya tidak boleh ada seorang pun yang mempunyai pandangan sebegitu terhadap bahasa kebangsaan. Bak kata pepatah \u201cKerana nila setitik, rosak susu sebelanga\u201d.\nSepatutnya penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda juga perlu berkuatkuasa di seluruh negara di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976. Namun begitu, kebanyakan papan tanda dan iklan di negara kita terutamanya di bandar raya tidak menggunakan bahasa Melayu sedangkan penggunaannya merupakan keperluan dari sudut perundangan.\nBeliau juga berkata, sikap masyarakat Malaysia menyebabkan usaha pemartabatan bahasa Melayu menjadi sukar kerana kebanyakannya kurang dan tidak yakin akan kemampuan bahasa ini untuk memajukan negara dan memandaikan anak bangsa. Bukan itu sahaja, bagi masyarakat, bahasa Melayu tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi seperti bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin. Bahasa Melayu mempunyai nilai budayanya yang tinggi.\nKatanya lagi, usaha pemartabatan bahasa kebangsaan ini juga menempuh jalan sukar disebabkan tindak balas rakyatnya sendiri. Contohnya, apabila ingin memartabatkan kembali tulisan Jawi dan dimuatkan dalam sukatan pelajaran dan diajar di sekolah, terdapat tindak balas yang begitu agresif daripada pihak tertentu. Faktor sikap dan tindak balas rakyat yang negatif menyukarkan usaha perkembangan dan kemajuan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini.\nDalam usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu, masyarakat perlu mengubah sikap mereka terhadap bahasa ini. Masyarakat perlu yakin dan percaya akan kebolehannya untuk memajukan negara selain menyokong sepenuhnnya penggunaan bahasa tersebut dalam sektor pendidikan negara kita.\nTambah beliau, masyarakat perlu berusaha untuk meningkatkan lagi nilai ekonomi bahasa ini agar setanding dengan bahasa lain. Dalam usaha untuk mengubah sikap ini, pelbagai pihak perlu mempunyai perancangan yang rapi dan memupuknya sejak zaman sekolah lagi. Anak muda tidak boleh dibiarkan mencintai bahasa itu dengan sendirinya tanpa sebarang usaha pemupukan dari awal.\nJika dilihat, penggunaan bahasa kebangsaan di negara ini kurang memuaskan baik dari segi kualiti mahupun kuantiti. Kedua-dua aspek ini harus dipertingkat dan setiap warganegara perlu memberikan perhatian kepada penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul seperti yang disyorkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, selaku agensi bahasa yang ulung di negara ini.\nPenggunaan bahasa Melayu yang berkualiti adalah penting terutamanya apabila diguna pakai dalam urusan rasmi khususnya medium yang berbentuk tulisan. Hal ini kerana kita mempunyai masa untuk menyuntingnya dari segi ejaan dan tatabahasa berbanding dengan bentuk pertuturan.\nTambahnya, bahasa Melayu juga perlu berkualiti dalam siaran yang berbentuk berita atau dokumentari. Namun begitu, terdapat pengecualian bagi program yang bersiaran secara langsung disebabkan oleh siaran ini berlaku secara spontan sehingga menyukarkan masyarakat daripada tidak menggunakan bahasa rojak.\nDalam usaha memartabatkan bahasa Melayu di negara ini, terdapat satu sisi yang sangat penting, iaitu dengan menggunakan perkataan asli bahasa Melayu. Perkataan yang sudah mantap penggunaannya janganlah sesekali digantikan oleh perkataan pinjaman bahasa lain. Contohnya, perkataan \u201csolusi\u201d bagi menggantikan perkataan asli bahasa Melayu yang telah mantap, iaitu \u201cpenyelesaian\u201d." "Perkataan: \u201cMinta\u201d atau \u201cPinta\u201d, \u201cMohon\u201d atau \u201cPohon\u201d, \u201cNipis\u201d atau \u201cTipis\u201d?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan\nSaya mengalami kekeliruan tentang penggunaan perkataan mohon atau pohon, minta atau pinta, nipis atau tipis. Perkataan yang manakah yang tepat?\nDaripada:\nHassan Che Ling,\nCheras Perdana, Kuala Lumpur." "Memperbanyak Buku Terjemahan dari Luar Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013Berdasarkan dunia perbukuan di Malaysia, negara ini dikatakan menghadapi kekurangan buku terjemahan, iaitu buku dari luar negara yang diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan. Sehubungan dengan itu, usaha memperbanyak buku tersebut berupaya merangsang minat pembacaan masyarakat, yang sekali gus berupaya meningkatkan mutu penulisan yang ada.\nDemikian antara inti pati penerangan oleh Encik Kiridaren Jayakumar, yang berpengalaman dalam dunia industri perbukuan dan\u00a0juga seorang Ketua Pegawai Eksekutif The Bibliophile. Beliau diundang untuk berkongsi pandangannya terhadap dunia perbukuan tanah air melalui Program Tutur Kita 2022, yang dikendalikan oleh Encik Azimin Daud, selaku moderator yang merupakan Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nMenurut Encik Kiridaren Jayakumar, beliau mula serius bergiat dalam perniagaan menjual buku bermula dari tahun 2018 hingga kini. Beliau juga berhasrat untuk menjadikan budaya membaca di negara ini sebagai sesuatu yang membanggakan. Beliau berhasrat untuk meningkatkan pelibatan masyarakat dan minat mereka terhadap pembacaan buku di negara ini.\nFokus kita adalah untuk mereka yang tidak ingin membaca buku dan menjadikan membaca itu sebagai aktiviti yang santai.\nBeliau juga berkongsi pengalamannya berbual dengan beberapa orang Sasterawan Negara pada suatu ketika dahulu dan ada di antara mereka yang menyatakan bahawa hasil pembacaan daripada karya luar negara banyak membantu mereka menghasilkan karya yang lebih berkualiti.\nApabila kita membawa banyak buku terjemahan dari negara luar, mutu pembacaan juga akan meningkat dan secara tidak langsung dapat melahirkan penulis yang baik. Sebagai contoh, banyak penulis Malaysia yang terdahulu mempunyai penulisan yang beraras tinggi.\nTambah beliau, penerbitan buku DBP ketika ini sememangnya memenuhi permintaan semasa.\nDBP menerbitkan pelbagai jenis buku. Antaranya termasuklah karya yang paling susah nak dapat, karya Sasterawan Negara yang asli, sejarah negara, bahasa, psikologi bahasa dan psikologi agama. Kini, DBP lebih memenuhi permintaan pembaca.\nSementara itu, beliau turut mengakui akan cabaran yang dihadapi dalam aktiviti penjualan buku. Menurut beliau, selepas pandemik COVID-19, para penjual buku atau syarikat buku perlu membawa buku kepada peminat buku. Penjualan buku juga tidak boleh bergantung pada penjualan secara dalam talian sahaja.\nBeliau turut menyatakan harapannya agar semua rakyat Malaysia terus menyuburkan amalan membaca di negara ini selain berharap agar banyak lagi buku dari luar negara dapat diterjemahkan dalam bahasa kebangsaan. Beliau juga menyarankan agar penulis ulasan buku tidak hanya menulis berkaitan dengan kandungan buku semata-mata tetapi menulis tentang kepentingan membaca buku tersebut." "Kriteria Pemilihan Buku Kanak-kanak Penting untuk Bacaan Awal Kanak-kanak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Baru-baru ini, Program Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) Peringkat Pertubuhan Bukan Kerajaan 2022 telah diadakan di LT2, Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Shah Alam, Shah Alam, Selangor. Program ini merupakan anjuran bersama UNISEL dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) dan IBBY Malaysia.\nSecara keseluruhannya, program ini telah disertai oleh 150 orang peserta yang terdiri daripada warga kerja UNISEL, pelajar UNISEL, pelajar Kolej Universiti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan wakil badan bukan kerajaan (NGO).\nProgram dimulakan dengan Forum Bahan Bacaan dan Sokongan untuk Kanak-kanak Istimewa yang menampilkan Dato\u2019 Ahmad Redza Ahmad Khairuddin (Presiden Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) dan IBBY Malaysia), Ts. Dr. Latifah Abd Latif (Timbalan Dekan Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran (FCVAC) UNISEL), Puan Nor Aziyana Abd Rahman (Pensyarah Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran (FCVAC) UNISEL) dan Encik Norazly Nordin (Pensyarah Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), Alor Setar, Kedah) sebagai moderator.\nMenurut Dato\u2019 Ahmad Redza Ahmad Khairuddin, budaya membaca bermula dari zaman kanak-kanak. Penilaian tahap pembacaan kanak-kanak berdasarkan pemilihan bahan bacaan yang sesuai mengikut tahap umur. Pemilihan bahan bacaan bagi kanak-kanak normal dan kanak-kanak hiperaktif pula mengikut kesesuaian minda dan kefahaman mereka.\nTambah beliau, pemilihan bahan bacaan kanak-kanak juga berdasarkan pengamatan kanak-kanak dalam melihat sesuatu perkara. Kajian tahap bacaan kanak-kanak di Malaysia yang dijalankan oleh MBBY, selari dengan tahap bacaan kanak-kanak di 79 buah negara di seluruh dunia.\nHakikatnya kita semua pernah menjadi kanak-kanak. Apabila mengimbau zaman kanak-kanak akan mengingatkan kita kepada bahan bacaan yang pernah dibaca ketika zaman kanak-kanak. Contohnya, apabila menginjak ke zaman dewasa dan mengambil jurusan Pendidikan Awal Kanak-kanak, para pelajar tetap membaca nota-nota kuliah untuk keperluan jawapan peperiksaan.\nSementara itu, kriteria buku kanak-kanak istimewa menurut kajian pemasaran buku kanak-kanak di Malaysia yang dijalankan oleh Ts. Dr. Latifah Abu Bakar telah dipamerkan dalam Pameran The International Board of Books For Young People Ke-38, yang berlangsung pada 6 September 2022 hingga 8 September 2022 bertempat di Foyer Auditorium Cempakasari, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3, Putrajaya.\nHasilnya, penganjuran pameran itu menampilkan buku kanak-kanak dan ilustrasi buku kanak-kanak terbaik hasil karya 145 orang penulis dan penerbit tersohor dalam dunia penceritaan buku kanak-kanak antarabangsa dari China, Jepun, India, Iran, negara-negara Oceania dan Amerika Syarikat.\nYang lebih membanggakan, hasil pencapaian muka hadapan katalog buku kanak-kanak sepanjang tahun 2021 menampilkan 40 bahasa yang telah menghiasi 40 muka hadapan buku kanak-kanak dari seluruh dunia.\nSelain itu, terdapat pelbagai bahasa antarabangsa dalam karya buku kanak-kanak antarabangsa yang dipamerkan di Pameran The International Board of Books For Young People Ke-38. Tegas Ts. Dr. Latifah Abu Bakar, apabila mengunjungi pameran buku, kita akan mengenali pelbagai bahasa dan grafik buku.\nMenurut Puan Nor Aziyana Abd Rahman, perkara pertama perlu dilakukan dalam menghasilkan bentuk ilustrasi buku ialah kaedah membangunkan ilustrasi buku. Selain itu, kepentingan bahan bacaan kanak-kanak sebagai bahan bacaan sokongan juga bertujuan untuk memberikan pendidikan kepada kanak-kanak normal dan kanak-kanak istimewa menguasai pembacaan, kemahiran berbahasa, kemahiran menulis dan kemahiran mengira.\nTambah beliau, penghasilan pelbagai ilustrasi buku kanak-kanak memberikan keunikan terhadap minat kanak-kanak normal dan kanak-kanak istimewa untuk menerokai buku kanak-kanak, khususnya quiet book. \nIustrasi buku cerita kanak-kanak dan kandungan buku cerita kanak-kanak yang berbentuk fantasi menjadikan pembaca buku kanak-kanak terpikat melihat estetika dan ilustrasi dunia fantasi dalam buku kanak-kanak.\nBeliau juga menegaskan bahawa pembaca buku kanak-kanak di Malaysia menyukai ilustrasi buku yang berkonsepkan realisme dan ilustrasi abstrak dan geometrik dalam buku kanak-kanak.\nSementara itu, forum kedua yang bertajuk \u201cKesihatan Mental: Antara Persepsi dengan Realiti\u201d pula menampilkan Dr. Syuhaida Abdul Razak, Pakar Psikiatri dari Hospital Shah Alam, Puan Wany Ardy (penulis, aktivis sosial dan Pengasas Mayer-Rokitansky-Kuster-Hauser atau MRKH Malaysia) bersama-sama Encik Mosyuki Borhan (Pengarah Urusan Rumah Ripta) dan Puan Alia Ali (Pengerusi Yayasan ZuriatCARE) pula bertindak sebagai moderator.\nMajlis Perasmian Penutupan Program DMK Peringkat Pertubuhan Bukan Kerajaan telah disempurnakan oleh Prof Dr. Md. Sidin Ahmad Ishak, Naib Presiden dan Timbalan Naib Canselor, UNISEL. Antara barisan tetamu kehormat yang turut hadir ke program ini termasuklah Puan Rodziah Md Yunus (Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak Remaja, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP), Encik Hafiz Abdul Rahim (Ketua Perpustakaan UNISEL) dan Ahli Pengurusan Tertinggi UNISEL." "Unsur Ambiguiti dalam Bahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBahasa ialah wahana komunikasi yang utama antara manusia. Oleh itu, seseorang yang bertutur atau menulis akan berusaha menggunakan bahasa yang setepat mungkin untuk menyampaikan maksud yang hendak disampaikannya dengan jelas. Sila lihat contoh yang berikut:\nKeempat-empat ayat di atas dapat menyampaikan maksud yang dihajati dengan amat objektif dan jelas tanpa sebarang ambiguiti atau ketaksaan makna.\nAmbiguiti bererti kesamaran maksud yang memungkinkan adanya dua atau lebih tafsiran terhadap sesuatu perkara yang telah diujarkan atau ditulis. Hal ini sering berlaku pada karya kreatif seperti puisi atau teks agama.\nDalam ujaran atau tulisan biasa pun, ada kalanya timbul unsur ambiguiti atau ketaksaan makna yang mungkin tidak disengajakan. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\nAyat 5 dapat ditafsirkan seperti yang berikut:\nTafsiran 1:\nSubjek: \u00a0dia\nPredikat: \u00a0berkata bahawa dia mahu ke kampung pada hari itu\nPredikat utama: \u00a0berkata\nPelengkap predikat: \u00a0bahawa dia mahu ke kampung pada hari itu\nKeterangan pelengkap predikat: \u00a0pada hari itu\nTafsiran 2:\nSubjek: \u00a0dia\nPredikat: \u00a0berkata bahawa dia mahu ke kampung pada hari itu\nPredikat utama: \u00a0berkata\nPelengkap predikat: \u00a0\u00a0bahawa dia mahu mahu ke kampung\nKeterangan predikat ayat: \u00a0pada hari itu\nDalam tafsiran 1 di atas, frasa sendi nama pada hari itu\u00a0ialah frasa keterangan bagi pelengkap predikat ayat, iaitu bahawa dia mahu ke kampung pada hari itu.\u00a0Oleh itu, frasa keterangan pada hari itu\u00a0tidak dapat dipisahkan daripada\u00a0unsur utama pada pelengkap predikat mahu ke kampung. Ayat tafsiran 1 dapat disongsangkan seperti yang berikut:\nDalam tafsiran 2 pula, frasa sendi nama pada hari itu\u00a0ialah frasa keterangan untuk predikat seluruh ayat, iaitu berkata bahawa dia mahu ke kampung pada hari itu. Oleh itu, frasa keterangan pada hari itu\u00a0dapat dipisahkan dari frasa mahu ke kampung. Ayat tafsiran 2 dapat disongsangkan dengan pelbagai cara, seperti yang berikut:\n7a. \u00a0Pada hari itu,\u00a0dia berkata bahawa dia mahu ke kampung.\n7b. \u00a0Pada hari itu,\u00a0berkata bahawa dia mahu ke kampung\u00a0dia.\n7c. \u00a0Berkata bahawa dia mahu ke kampung\u00a0dia pada hari itu.\nHal yang serupa juga berlaku jika terdapat dua objek pada ayat. Sila lihat contoh yang berikut:\nTafsiran 1:\u00a0(ayat songsang)\nTafsiran 2:\u00a0(ayat songsang)\n10a. \u00a0Pada hari itu, dia memberitahu ibunya bahawa dia mahu ke kampung.\n10b. \u00a0Pada hari itu, memberitahu ibunya bahawa dia mahu ke kampung\u00a0dia.\n10c. \u00a0Memberitahu ibunya bahawa dia mahu ke kampung\u00a0dia pada hari itu.\nAda kalanya, ayat menimbulkan ambiguiti struktur dan makna antara penerang frasa nama dengan keterangan predikat ayat. Sila lihat contoh yang berikut:\nTafsiran 1:\n12a. \u00a0Dia membaca buku\u00a0(yang terdapat) di perpustakaan.\nAyat songsang\n12b. \u00a0Membaca buku di perpustakaan\u00a0dia.\nTafsiran 2:\n13a. \u00a0Dia membaca buku\u00a0(miliknya) di perpustakaan.\nAyat songsang\n13b. \u00a0Di perpustakaan, dia membaca buku.\n13c. \u00a0Di perpustakaan, membaca buku\u00a0dia.\n13d. \u00a0Membaca buku\u00a0dia di perpustakaan.\nDalam tafsiran 1 (kelompok ayat 12), buku yang dibacanya ialah buku yang terdapat di perpustakaan. Ertinya, frasa sendi nama di perpustakaan\u00a0ialah penerang bagi frasa nama buku. Oleh itu, frasa sendi nama penerang di perpustakaan\u00a0tidak boleh dipisahkan dari frasa nama buku.\nDalam tafsiran 2 (kelompok ayat 13), frasa sendi nama di perpustakaan\u00a0ialah frasa keterangan yang dapat dipisahkan daripada\u00a0predikat membaca buku. Walau bagaimanapun, ada kalanya sesuatu ayat hanya menawarkan satu kemungkinan tafsiran. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\nTafsiran 1: \nTafsiran 2: \n16a. \u00a0*Di atas meja, dia menyusun buku.\n16b. \u00a0*Di atas meja, menyusun buku\u00a0dia.\n16c. \u00a0*Menyusun buku\u00a0dia di atas meja.\nBagi ayat 14, frasa sendi nama di atas meja\u00a0merupakan penerang kepada frasa nama buku, bukan keterangan predikat menyusun buku. Oleh itu, tafsiran 1 (ayat 15) adalah tepat dan tafsiran 2 (kelompok ayat 16) tidak betul.\nSatu hal yang menarik ialah unsur ambiguiti atau ketaksaan makna terdapat juga dalam bahasa lain. Sila lihat contoh yang berikut:\nTafsiran 1:\n18a. \u00a0Memandu kapal terbang\u00a0mungkin berbahaya,\nTafsiran 2:\n18b. \u00a0Kapal terbang yang sedang terbang\u00a0mungkin berbahaya." "Mekarnya Bahasa Melayu di Korea Selatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam Utusan Malaysia pada 4 Julai 2022, terdapat satu makalah oleh Ku Seman Ku Hussain yang berjudul \u201cPerkukuh Bahasa Melayu \u2013 Young Hun\u201d. Profesor di Jabatan Pengajian Melayu\u2013Indonesia di Universiti Hankuk, Korea Selatan, iaitu Profesor Koh Young Hun menolak tanggapan yang mengatakan bahawa bahasa Melayu tidak mampu memajukan negara dari segi sains dan teknologi. Jelasnya lagi, negara yang menggunakan bahasa ibunda tetap maju dalam sektor berkenaan.\nSebagai contoh, negara Jerman menggunakan bahasa Jerman walaupun dalam membincangkan hal ehwal automotif kerana negara berkenaan sangat terkenal dengan bidang berkenaan. Apa yang terjadi? Adakah Jerman mundur? Tidak. Melalui hal itu juga, bahasa Jerman berkembang dan meluas.\nContoh yang seterusnya, setiap pelajar yang ingin\u00a0menyambung pengajian ke negara Jerman wajib mengambil kelas bahasa Jerman terlebih dahulu sebelum \u00a0ke sana. Hal ini demikian kerana bahasa pengantar di institut pengajian Jerman rata-ratanya\u00a0dalam bahasa Jerman. Soalnya, adakah selepas mendapat ijazah dari institut pengajian di Jerman itu para pelajar akan\u00a0menjadi tidak kompeten hanya kerana ilmu yang mereka pelajari di Jerman bukan dalam bahasa Inggeris? Tidak.\nTanggungjawab untuk menjadikan suatu bahasa itu sebagai bahasa ilmu adalah tanggungjawab penutur bahasa itu sendiri. Contohnya, apabila ke Jepun, seseorang itu tetap harus mempelajari bahasa Jepun kerana para penuturnya tidak tunduk kepada bahasa lain. Selain itu, masih lagi terdapat temu duga bagi sesuatu jawatan di Malaysia yang menggunakan bahasa Inggeris sedangkan pekerjaan itu di Malaysia dan bukannya di United Kingdom. Dalam hal ini, amatlah malu sekiranya kita ditegur tentang bahasa sendiri oleh orang Korea yang mendalami bahasa Melayu. Seharusnya kita yang lebih unggul tentang bahasa negara kita sendiri berbanding dengan orang asing.\nBahasa Melayu merupakan bahasa yang terus berkembang. Dengan perkembangan tersebut, bahasa Melayu mengalami penstandardan menurut negara masing-masing. Terdapat dua varian bahasa Melayu\u00a0yang\u00a0terbesar,\u00a0iaitu bahasa Melayu Malaysia dan bahasa Melayu Indonesia yang\u00a0kini dinamakan bahasa Indonesia. Bahasa Indonesia berasal daripada bahasa Melayu, tetapi telah mengalami sejarah penstandardannya sendiri yang berbeza daripada\u00a0bahasa Melayu Malaysia. Oleh sebab itulah wajar dipanggil bahasa Indonesia. Cuma yang penulis perikan ini adalah berdasarkan sejarahnya.\nDalam Ensiklopedia Bahasa Melayu, Asmah Haji Omar menyebut perkara ini sebagai variasi nasional. Variasi nasional ialah kelainan standard bahasa yang sama. Bahasa tersebut\u00a0tetap bahasa Melayu, tetapi menurut piawai negara masing-masing. Begitulah dengan negara lain-lain termasuklah Brunei.\nBagaimanakah bahasa Melayu berkembang di Korea Selatan? Dalam \u201cPerkembangan Bahasa Melayu di Korea Selatan\u201d oleh Lim Kim Hui, Hankuk University of Foreign Studies (HUFS) di Seoul, Korea Selatan, telah memainkan peranan yang penting dan terawal dalam menyebarkan bahasa asing di Korea Selatan. Universiti tersebut dibangunkan pada tahun 1954 selepas Perang Korea. 10 tahun kemudian, barulah Jabatan Bahasa Melayu\u2013Indonesia dibangunkan dengan menerima angkatan mahasiwa pertamanya.\nZaharani Ahmad merupakan pemegang Kursi Pengajian Melayu yang pertama di Korea Selatan. Dalam makalahnya, iaitu\u00a0\u201cPengajian Melayu di Korea Selatan: Perkembangan dan Pencapaiannya\u201d, beliau\u00a0membahagikan perkembangan bahasa Melayu di Korea Selatan kepada tiga tahap, iaitu permulaan (1960-an hingga 1970-an), pertengahan (1980-an hingga 1990-an) dan semasa (2000 hingga kini). Namun\u00a0begitu, tahap-tahap ini diperincikan oleh Lim Kim Hui dalam bukunya kepada lima tahap.\nTahap yang pertama\u00a0adalah mengenai\u00a0kelahiran HUFS dan perkembangan awal Pengajian Melayu di Korea Selatan. Pada tahap ini, Jabatan Bahasa Melayu\u2013Indonesia masih belum mapan\u00a0dan\u00a0hanya meminjam pensyarah dari luar jabatan seperti\u00a0Jabatan\u00a0Sepanyol dan Inggeris untuk mengurus program jabatan seperti mencari pensyarah dan sebagainya. Para pensyarahnya pula hanya\u00a0bekerja\u00a0sambilan dan ada yang belum mempunyai kelayakan akademik melainkan pengalaman tertentu.\nTahap pertama ini sangat penting bagi kelangsungan jabatan ini. Jabatan ini\u00a0juga berusaha untuk kekal relevan dan penting agar bahasa Melayu\u2013Indonesia itu terus dipelajari di Korea Selatan. Penubuhan HUFS pada awalnya\u00a0bertujuan untuk menarik seberapa banyak\u00a0pelajar untuk mendalami bahasa asing yang selaras dengan usaha negara tersebut untuk meningkatkan diplomasi dan ekonomi di persada antarabangsa. Ketika itu, Korea Selatan melancarkan Pelan Pembangunan Ekonomi Lima Tahun Pertama. Sehubungan dengan itu, mereka akan banyak berurusan dengan negara asing termasuklah negara Malaysia. Untuk melicinkan hubungan tersebut, bahasa merupakan entiti terpenting untuk dikuasai.\nSeperti yang dilihat pada hari ini, banyak\u00a0orang muda di Malaysia yang gemar menonton drama Korea dan ada yang mahu melancong ke sana. Pada hari\u00a0ini, kita mendapat tahu bahawa terdapat papan tanda kereta api bawah tanah di Korea Selatan yang menggunakan bahasa Melayu. Hal ini menunjukkan bahawa terdapat banyak\u00a0pelancong dari Malaysia yang melancong ke Korea Selatan sehingga memerlukan papan tanda dalam bahasa Melayu.\nTahap kedua\u00a0pula ialah\u00a0era pengembangan pendidikan Pengajian Melayu. Pada tahun 1981, kampus kedua HUFS dibangunkan di Yongin. Kampus ini selepasnya menjadi Jabatan Interpretasi dan Terjemahan. Hal ini berlaku kerana negara Korea Selatan telah beralih fokus kepada industri teknologi tinggi dan komputer. Kerja-kerja terjemahan amat diperlukan untuk memerikan\u00a0konsep teknikal. Kini\u00a0HUFS sudah mempunyai\u00a0dua kampus, iaitu di Seoul dan Yongin. Kampus di Seoul masih berfokus pada pembelajaran bahasa secara tunggal. Di Yongin pula berfokus pada interpretasi dan terjemahan,\u00a0yakni melibat dua bahasa,\u00a0iaitu bahasa sumber dan bahasa sasaran.\nTahap ketiga menerangkan tentang era pemantapan Pengajian Melayu\u2013Indonesia. Pada era ini, syarat pelantikan pensyarah menjadi semakin ketat. Dahulu, dengan ijazah sarjana muda sahaja sudah boleh menjadi pensyarah. Kemudian, syarat pelantikan itu dinaikkan kepada ijazah sarjana dan akhirnya kepada ijazah kedoktoran.\nPada tahun 1997, Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani bersama dengan Universitas Gadjah Mada dari Indonesia dan Universiti Malaya dari Malaysia. Para pensyarah Malaysia dan Indonesia dijemput untuk menjadi pensyarah tamu dan profesor pelawat di HUFS dengan mengajarkan bahasa Melayu, bahasa Indonesia, sastera Melayu dan Indonesia, dan sebagainya. Zaman ini sangat signifikan kerana telah mendapat ajaran dan bimbingan secara langsung daripada negara asal, iaitu Malaysia dan Indonesia. Banyak juga lepasan Jabatan Bahasa Melayu\u2013Indonesia yang berbangsa Korea melanjutkan pengajian di Malaysia dan Indonesia. Contohnya, Profesor Koh Young Hun. Dengan hubungan erat begini, Jabatan Bahasa Melayu-Indonesia boleh berkembang dengan mekar.\nTahap keempat\u00a0pula ialah\u00a0era perluasan ekonomi ASEAN. Pada tahun 1991, Korea Selatan dan Korea Utara menyertai\u00a0Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Sehubungan dengan itu, segala hal ehwal Korea Selatan telah memasuki pasaran antarabangsa secara meluas. Korea Selatan harus menyebarkan ekonominya untuk import\u2013eksport dengan negara-negara asing. Atas dasar keperluan ekonomi global, maka keperluan untuk mempelajari bahasa asing seperti bahasa Melayu juga meningkat.\nTahap kelima\u00a0menerangkan tentang era siber dan perkembangan mutakhir. Pada zaman moden ini, negara\u00a0sudah mengamalkan polisi terbuka bagi program pendidikan dan pembelajaran. Setiap orang mempunyai peluang untuk belajar apa-apa sahaja secara dalam talian. Hal ini berikutan perkembangan\u00a0teknologi maklumat dan komunikasi\u00a0dan dunia digital di dunia. Oleh itu, kuliah secara dalam talian\u00a0dikendali\u00a0sepenuhnya oleh sebuah\u00a0universiti terbuka daripada cabang HUFC sendiri, iaitu Cyber Hankuk University of Foreign Studies (CUFS). Sesiapa yang tinggal berjauhan dari HUFS tetap boleh menghadiri kuliah secara dalam talian daripada sana juga.\nWalaupun HUFS merupakan universiti terawal dalam menyediakan program bahasa Melayu, universiti ini juga mengalami cabaran dalam mengembangkan program berkenaan. Selepas itu, barulah universiti lain di Korea Selatan membangunkan program bahasa Melayu seperti di Busan University of Foreign Studies (BUFS) dan Youngsan University. Semua hal ini tidak akan dapat direalisasikan melainkan usaha oleh banyak pihak dalam menjayakannya." "CELPAD, UIAM Jalin Kerjasama Kebahasaan dan Penerbitan dengan DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Program Tandang Sulur Kama yang diadakan di Bilik Latihan 2, Wisma DBP pada pukul 2.30 petang tadi berlangsung dengan jayanya. Program ini hasil inisiatif oleh Tenaga Pengajar Divisyen Bahasa Melayu (DBM), \u00a0Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademik Pra-Universiti (CELPAD), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bersama-sama Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nPara Tenaga Pengajar DBM, CELPAD yang diketuai oleh Puan Nurma Abd. Karim (Ketua DBM) hadir bersama-sama Puan Siti Zafira Zainal Abidin (Penyelaras Kursus), Puan M Mascitah Mansor (Pengarah Program), Encik Razman Mohamad (Timbalan Pengarah Program) dan beberapa orang tenaga pengajar lagi. Sementara itu, Bahagian Majalah pula diwakili oleh Puan Aninah Janang (Timbalan Ketua Editor Bahagian Majalah), Encik Abdul Kadir Mohd Ayub (Editor Majalah Dewan Masyarakat) dan Puan Siti Zubaidah Sekak (Editor Majalah Tamadun Islam)\u00a0serta beberapa orang penolong editor.\nMenurut Puan Nurma Abd. Karim, pelajar UIAM perlu melalui ujian untuk mengetahui tahap penguasaan bahasa Melayu mereka.\nDi UIAM, bahasa pengantar ialah bahasa Inggeris. Sehubungan dengan itu, adalah menjadi impian kami untuk menjalin hubungan dengan DBP dalam bentuk kerjasama kebahasaan terutamanya dalam penerbitan karya yang bermutu dan memperoleh panduan penulisan yang bagus. Kami juga amat berbesar hati untuk memperoleh lebih banyak maklumat berkaitan dengan penulisan artikel dalam majalah bercetak dan e- majalah atau sohor kini dan seterusnya dapat membukukan hasil karya daripada penulis atau pensyarah UIAM dengan DBP.\nTambah beliau, UIAM telah menghasilkan 40 buah puisi bersempena dengan sambutan ulang tahun UIAM yang ke-40. Sehubungan dengan itu, terdapat cadangan untuk membukukan puisi tersebut di samping berhasrat untuk menulis artikel yang lebih akademik dan berkualiti.\nSementara itu, menurut Puan Aninah Janang, bagi penerbitan karya kreatif, terdapat dua buah majalah yang berkenaan, iaitu majalah Dewan Sastera dan majalah Tunas Cipta.\nKami sangat mengalu-alukan kiriman karya daripada penulis. Setakat ini, sebanyak 80 peratus daripada hasil terbitan DBP ialah karya daripada penulis luar. DBP juga telah membina satu portal sohor kini, iaitu JendelaDBP untuk memberikan lebih banyak ruang dan peluang kepada penulis untuk menyumbang karya kepada DBP.\nMenurutnya lagi, ada 11 buah majalah bercetak dan lapan buah majalah secara dalam talian di JendelaDBP yang menyediakan ruang penulisan dan banyak dalam kalangan pensyarah universiti turut menyumbang karya kepada majalah-majalah tersebut.\nMengikut data yang ada, dari bulan Januari hingga 24 November 2022, sebanyak 2883 artikel telah diterbitkan di JendelaDBP. Kami juga ada menyediakan honorarium kepada penulis yang karyanya disiarkan di portal berkenaan.\nMenurut Encik Abdul Kadir Mohd Ayub pula, dalam penerbitan majalah bercetak,\u00a0karya cerpen ada diterbitkan dalam 10 buah majalah kecuali dalam majalah Dewan Masyarakat. Karya puisi bagi majalah Dewan Masyarakat pula diterbitkan mengikut tema dalam bulan berkenaan sahaja.\nMajalah Dewan Masyarakat lebih memfokuskan penerbitan rencana yang di dalamnya mengandungi ruangan politik, sosial, isu serantau (ASEAN), agama yang lebih bersifat isu keagamaan yang berlegar di sekitar masyarakat, jenayah oleh penulis tetap tentang isu jenayah di negara dan beberapa ruangan lain. Ruangan untuk penulis muda juga disediakan dalam majalah ini.\nTambah beliau, majalah Dewan Bahasa pula memfokuskan isu kebahasaan manakala majalah Pelita Bahasa pula berfokuskan pembelajaran bahasa dalam kalangan pelajar sekolah, guru, mahasiswa, kakitangan kerajaan dan pengguna bahasa yang lain.\nSelain Encik Abdul Kadir Mohd Ayub, Editor Dewan Tamadun Islam, iaitu Puan Siti Zubaidah Sekak turut memberikan taklimat yang berkaitan dengan JendelaDBP. Bagi e-majalah Dewan Bahasa, antara ruangan dalam portal berkenaan ialah Cemerlang Bahasa, Tanya Munsyi, Bicara Bahasa, Minda Bahasa dan Berita. Selain itu, penerbitan jurnal turut diperkenalkan yang melibatkan empat jurnal, iaitu Jurnal Bahasa, Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu, Jurnal Undang-undang, dan Malay Literature.\nSementara itu, dalam sesi soal jawab pula, penerangan yang lebih terperinci tentang panduan penulisan artikel dan berita dalam majalah bercetak dan JendelaDBP turut diberikan para editor yang terlibat. Selain itu, pelbagai panduan penulisan turut dikongsi bersama dengan para tenaga pengajar yang hadir dalam program ini." "Sampah Sarap dan Bukit Bukau\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\n\u00a0Adakah \u201csampah sarap\u201d dan \u201cbukit bukau\u201d dikira sebagai kata ganda?\nDaripada:\nUmi Nazifah,\nBandar Enstek, Negeri Sembilan." "65 Tahun DBP Mengangkat Bahasa Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nPada 22 Jun 2021, genap 65 tahun usia Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Manusia pada usia itu sebahagiannya mengalami kemerosotan dalam beberapa segi kehidupannya, seperti kesihatan, semangat, kemahuan dan harapan. Namun hayat DBP tidak sama dengan hayat manusia. DBP tetap gagah dan terus mengisi amanah mengangkat bahasa dan persuratan negara. Tepat rangkap kedua seni kata lagu rasmi DBP:\n\u201cDewan Bahasa kau obor kebangsaan\nRestu dari jiwa pahlawan\nNyala membakar semangat rakyat\nKau abadi dan keramat.\u201c\nErti penubuhan DBP pada tahun 1956, iaitu setahun sebelum kemerdekaan mempunyai erti yang simbolik. Tempoh satu tahun memberikan ruang badan itu dipersiapkan untuk melaksanakan tanggungjawabnya merancang bahasa yang bakal menjadi bahasa negara apabila negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.\nPenubuhan DBP itu turut memberikan makna yang besar bagi perjuangan pelbagai kelompok rakyat yang peka akan tuntutan kemerdekaan. Kemerdekaan bukan hanya dalam hal pemerintahan, bahkan meliputi semua aspek kehidupan, termasuklah bahasa. Demikianlah penubuhan DBP sebagai hasil perjuangan pelbagai kelompok itu melalui Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kedua (1954) dan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga (1956) yang menunjukkan pentingnya gerakan rakyat dalam merancang pembinaan negara merdeka. Itulah erti \u201ckesaktian lidah rakyat\u201c dalam rangkap pertama lagu rasmi DBP. Antara kelompok yang mewakili rakyat dalam kongres itu termasuklah golongan pendidik, wartawan, bahasawan, sasterawan, agamawan dan budayawan, selain sejumlah ahli politik.\nSeawal penubuhannya pada tahun 1956, DBP telah mula menggerakkan jenteranya dalam usaha penggubalan istilah, iaitu salah satu keperluan bahasa moden. Dua bidang peristilahan diberi tumpuan sebagai permulaan, iaitu pertama, pentadbiran dan kedua, sains dan teknik. Sebagai negara yang akan merdeka setahun lagi, istilah bidang pentadbiran diperlukan. Tumpuan kepada bidang sains pula menunjukkan usaha awal mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, terutama ilmu sains.\nDaripada sebuah jabatan kerajaan yang berpejabat di bangunan kerajaan Johor di Bukit Timbalan, Ungku Aziz Ungku Abdul Majid sebagai Pengarah pertama mengusahakan perpindahan DBP ke Kuala Lumpur, mula-mula di bekas wad hospital di sekitar Taman Bunga Kuala Lumpur. Pada tahun 1962, DBP mendapat bangunan pejabat tetap di sebelah kompleks asal Wisma Putra, tidak jauh dari Kem Tentera Udara Sungai Besi. Di bawah pimpinan Pengarah kedua, Syed Nasir Ismail, imej DBP melonjak sebagai badan pejuang bahasa kebangsaan. Peristiwa perarakan Keranda 152 ke bangunan Parlimen yang dijuarai oleh kakitangan DBP menjadi detik sejarah penting. Peristiwa Keranda 152 berkaitan dengan penangguhan kuat kuasa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara yang dianjakkan selama 10 tahun, iaitu tahun 1967. Tempoh 10 tahun itu dianggap melemahkan Dasar Bahasa Kebangsaan.\nDBP memperoleh kekuatan apabila diangkat tarafnya menjadi badan berkanun di bawah Kementerian Pendidikan, melalui undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen, iaitu Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 yang kemudian menjadi Akta Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan tarafnya sebagai badan berkanun, DBP berhak merancang program dan projek yang sejajar dengan Akta DBP di samping bertanggungjawab memperoleh dana untuk kegiatannya.\nBerlandaskan akta itulah DBP bergerak di bawah kawalan Lembaga Pengelola, dengan fungsi utamanya memajukan dan mengembangkan bahasa kebangsaan dalam semua bidang, mengembangkan bakat sastera dalam bahasa kebangsaan, menerbitkan buku dan terbitan lain, terutama dalam bahasa kebangsaan, dan membakukan sistem bahasa (peristilahan, ejaan, sebutan, kosa kata dan tatabahasa). Fungsi itu diperluas dalam pindaan Akta DBP pada tahun 1995, dengan tumpuan kepada usaha pengembangan atau pemasyarakatan bahasa Melayu. Dengan perkataan lain, peluasan fungsi DBP itu diharapkan dapat memenuhi tahap \u201cpemupukan bahasa\u201c dalam semua sektor di negara ini, setelah tahap penetapan taraf dan pembakuan atau pembinaan bahasa mantap.\nDemikianlah, sejak ditubuhkan hingga kini, DBP terus berusaha mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Bahasa negara diterjemahkan dalam fungsinya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa wahana semua sektor kehidupan bernegara. Bahasa kebangsaan berkaitan rapat dengan cita-cita membina jati diri dan perpaduan warganegara. Bahasa rasmi, sebagaimana yang disebut dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan ialah wasilah penggerak pentadbiran negara di tiga peringkat, iaitu kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam. Bahasa ilmu pula meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara. Demikian juga, bahasa Melayu dirancang agar menjadi bahasa bidang ekonomi dan bidang-bidang lain.\nJika diukur berdasarkan akta yang menjadi teras gerak kerjanya, DBP pada satu sisi telah berjaya melaksanakan fungsinya sebagai badan perancangan bahasa, badan sastera dan badan penerbitan. Joan Rubin, seorang ahli perancangan bahasa, dalam bukunya Can Language Be Planned menyebut DBP sebagai contoh badan perancangan bahasa yang berkesan. Kerjasama mengutuhkan bahasa Melayu di peringkat serantau melalui Majlis Bahasa Brunei Darussalam\u2013Indonesia\u2013Malaysia (MABBIM) telah memenuhi sebahagian usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa supranasional, iaitu bahasa yang merentas batas geopolitik. Usaha mengangkat sastera Melayu melalui program pembinaan bakat, anugerah dan pemasyarakatannya berhasil meningkatkan mutu, jumlah dan khalayak sastera Melayu bagi semua warganegara. Malahan sastera Melayu diangkat oleh DBP di peringkat Asia Tenggara melalui Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) dan sebahagian usaha membuanakan sastera Melayu telah digerakkan.\nDalam bidang penerbitan, lebih 20 000 judul buku pelbagai bidang ilmu dan kreatif untuk pelbagai peringkat telah diterbitkan. Lebih 11 majalah dan empat jurnal,\u00a0 ensiklopedia pelbagai bidang dan peringkat, kamus ekabahasa dan dwibahasa (termasuklah bahasa sedunia) telah diterbitkan. Sehingga kini, DBP menjadi penerbit ulung dan unggul yang tetap bertahan meskipun badai teknologi dan perubahan budaya membaca masyarakat melanda dunia penerbitan negara.\nSebahagian kelemahan DBP berakar pada beberapa faktor. Salah satunya ialah keterbatasan bidang kuasa DBP sebagai pelaksana yang tidak diberi kuasa mengambil tindakan undang-undang sehingga ada suara sinis yang menggelar DBP sebagai \u201charimau kertas\u201c dan \u201charimau tak bergigi\u201c. Bidang kuasa Akta DBP menjadikan badan itu sebagai badan \u201cdakwah bahasa\u201c, bukan badan \u201cpendakwa bahasa\u201c, kerana peruntukan yang diberikan ialah usaha \u201cmenegur dan menasihati\u201c khalayak pengguna bahasa. Sebahagian kuasa mendakwa atau mengambil tindakan ada pada badan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam dan semua pemimpin penjawat awam (Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Pengarah jabatan dan agensi) yang wajib memastikan semua penjawat awam melaksanakan dasar-dasar negara, termasuklah penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.\nMalangnya hingga negara merdeka selama 64 tahun, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi masih menjadi isu kerana bahasa Melayu belum dilaksanakan penggunaannya dengan sepenuhnya dan dengan mutu yang tinggi. Maka itu, DBP menggerakkan Program Audit Bahasa Melayu mulai tahun 2013 untuk membantu meningkatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Demikian juga, pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai bidang kuasa menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu di tempat awam belum semuanya yang bertindak proaktif sehingga citra bahasa di tempat awam belum menayangkan jati diri kebangsaan dengan memuaskan.\nFaktor lain ialah perubahan dasar dan pelaksanaan program yang bertentangan dengan usaha DBP. Antara contoh yang jelas termasuklah pelaksanaan Program Pengajaran Sains dan Matematik (PPSMI) yang\u00a0 selama satu dekad mengancam bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pendidikan. Fungsi pertama DBP yang berkaitan dengan \u201cMemajukan dan mengembangkan bahasa kebangsaan dalam semua bidang, termasuk sains dan teknologi\u201c secara langsung tercabar dan terhalang, termasuk apabila DBP \u201cdipaksa\u201c menerbitkan buku teks mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, hal yang bertentangan dengan DBP. Meskipun PPSMI telah dimansuhkan, wujudnya Program Dwibahasa dan pengutamaan kuliah dalam bahasa Inggeris di kebanyakan institusi pengajian tinggi yang menghambat usaha DBP mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu\nDasar langit terbuka, keadaan dunia tanpa sempadan, globalisasi dan sikap liberal dan permisif dalam kalangan pengguna bahasa turut menjadi cabaran kepada DBP. Secara proaktif, DBP telah mula memberikan perhatian besar kepada pemupukan bahasa dan persuratan Melayu melalui bidang teknologi canggih. Penerbitan elektronik dan digital secara besar-besaran bagi bahan ilmu dan kreatif di samping meneruskan penerbitan bercetak menjadi salah satu strategi utama DBP. Pemanfaataan pelbagai pelantar dan media sosial dalam pengembangan bahasa, sastera dan ilmu telah mula memperlihatkan kesan positif, termasuk pelibatan khalayak di peringkat antarabangsa.\nDBP memiliki peluang yang luas untuk menjadi lebih maju dan berkesan dalam menggalas amanah sebagai badan penampan tamadun negara, khasnya melalui bahasa, sastera dan ilmu. Semua warga kerja DBP perlu memanfaatkan semua peluang yang ada, berfikir, merancang dan bergerak dengan kreatif dan inovatif tanpa alpa akan cita-cita asal penubuhan DBP untuk mengisi erti kemerdekaan.\n\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014\u2014-Pengemudi Watan\nZahirmu\nsetahun sebelum bumi merdeka\ndalam zaman gejolak\numat bermaruah menuntut hak\ndaripada penjarah\nyang meragut kebebasan dan martabat.\n\u00a0\nZahirmu\ndaripada cetusan dan ledakan\nsemangat juang sekalian cendekiawan\nbahasawan, sasterawan, wartawan, budayawan, agamawan\nyang berpadu akal, ilmu dan wawasan\nmempersiapkan bahasa watan\nyang seawal abad Masihi\ntelah mula mengukir sejarah\ndi mayapada\nuntuk menjadi wahana\ntamadun besar menjelang kemerdekaan\nbahasa pembentuk jati diri umat merdeka\nbahasa penyatu warga senegara\nbahasa wasilah pentadbiran negara\nbahasa landasan perkembangan ilmu beraneka.\n\u00a0\nEnam dasawarsa lima tahun\ndikau meniti jalan sejarah\nmengisi erti bahasa bermartabat\nmengisi bahasa yang zahir dan yang maknawi\nsebagai daya pengungkap pandangan sarwa\nkebijaksanaan dan peri segala ilmu milik wangsa\nmemperkaya khazanah kata, istilah, ungkapan, laras\npersuratan susastera dan persuratan ilmu.\n\u00a0\nDikau akan terus kami kemudikan\nsebagai bahtera tamadun wangsa dan negara\nmembentuk kekuatan berpaksikan nilai dan acuan sendiri\nmenjadi wahana akal budi\npendukung cita abadi putera dan puteri\ndi bumi payungan rahmat Ilahi.\n\u00a9 Awang Sariyan Kembara Bahasa" "Penterjemah Perlu Pentingkan Hubungan Antara Bahasa dengan Budaya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Rancangan Cakna Bahasa yang bertajuk \u201cKesalahan Bahasa dalam Terjemahan Bahasa Cina ke Bahasa Melayu\u201d yang bersiaran langsung melalui Facebook BERNAMA Radio telah menampilkan Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong, Penyelaras Unit Pemartabatan dan Pengantarabangsaan Bahasa Melayu, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang bersama-sama Puan Nazira Noran, penyampai BERNAMA Radio.\nMenurut beliau, dari aspek konsep terjemahan dalam dunia bahasa, secara umumnya terjemahan merupakan kerja dan tindakan memindahkan makna daripada satu bahasa kepada bahasa lain. Selain itu, terjemahan juga mengimport pandangan dunia, pemikiran dan idea daripada satu bahasa kepada bahasa lain.\nProses terjemahan merupakan proses untuk penterjemah saling mempelajari antara satu bahasa kepada bahasa lain. Proses terjemahan juga merupakan suatu proses menghasilkan bahasa sasaran dan bahasa penerima. Hasil proses terjemahan telah menambahkan pengetahuan dengan pengenalan bahasa, bangsa, negara dan tamadun dunia. Melaluinya, proses penterjemahan telah mengeratkan hubungan antara sesama manusia di seluruh dunia.\nKelebihan penterjemahan buku bahasa Cina ke dalam buku bahasa Melayu di Malaysia kini berjaya menghasilkan pelbagai karya terjemahan yang bermutu tinggi dan bertaraf antarabangsa. Yang lebih membanggakan, penterjemahan empat karya agung kesusasteraan klasik Cina seperti Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah (Dream of The Red Chamber), Hikayat Tiga Negara, Hikayat Jelajah ke Barat dan Hikayat Pinggir Air ke dalam bahasa Melayu dihasilkan untuk tatapan pembaca di Malaysia.\nPenterjemahan karya sastera Mahua oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan karya terjemahan bahasa Cina ke bahasa Melayu yang ditulis oleh penulis Cina tempatan di Malaysia.\nMenurut Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong, percakapan orang Cina melalui bahasa Cina menggunakan ayat aktif, manakala percakapan orang Melayu melalui bahasa Melayu diserlahkan dengan kesantunan bahasa dan ungkapan ayat pasif. Tegasnya, cara penstrukturan ayat pasif dalam bahasa Cina tidak sama dengan cara penstrukturan ayat pasif dalam bahasa Melayu.\nCabaran penterjemahan bahasa Cina ke bahasa Melayu juga memerlukan kepakaran penterjemah dalam menguasai imbuhan dalam bahasa Cina dan bahasa Melayu. Oleh itu, penstrukturan semula penterjemahan imbuhan bahasa Cina ke bahasa Melayu harus dilakukan oleh penterjemah bahasa Cina dengan sebaik-baiknya.\nSelain itu, pelibatan para penterjemah dalam bidang terjemahan menurut beliau seharusnya menekankan kepentingan bahasa dan budaya, selain kepentingan hubungan antara bahasa dengan budaya yang disifatkan bagai irama dan lagu.\nPenterjemah perlu menguasai hukum bahasa, tatabahasa dan pemikiran semua penutur bahasa di seluruh dunia. Secara keseluruhannya, penterjemahan menampilkan istilah terbaik oleh Bahagian Peristilahan, DBP dengan menghasilkan contoh padanan yang mantap seperti istilah terkini, iaitu akuan berkanun atau akuan secara bertulis." "Memartabatkan Bahasa Melayu dalam Bidang Sains dan Teknologi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Penghasilan dan perkembangan karya di Malaysia tidak hanya tertumpu dan didominasi oleh karya sastera semata-mata. Bidang sains dan teknologi juga adalah antara bidang yang turut berkembang dan bergerak seiring dengan bidang lain dalam meniti kelangsungan penghasilan dan perkembangan karya di negara ini baik penghasilan dalam bentuk karya kreatif mahupun penulisan ilmiah. Sehubungan dengan itu, program Canai Bahasa dan Sastera Bil.11/2022 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, memfokuskan perbincangan mengenai khazanah ilmu sains dan teknologi dalam bahasa Melayu.\nProgram ini menampilkan dua sosok yang hebat dalam dunia keilmuan, iaitu Prof. Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar dari Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan, Universiti Teknikal Melaka dan Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin, Pengarah Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya. Kedua-dua panel undangan ini merupakan penilai karya yang memenangi Hadiah Karya Ilmiah 2019/2020. Sesi pada kali ini dikendalikan oleh Puan Hasni Jamali, selaku moderator.\nProf. Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar memulakan bicara berkaitan dengan ciri-ciri buku sains yang berkualiti dalam bahasa Melayu. Sebuah buku ilmiah sains dan teknologi yang berkualiti seharusnya kandungan penulisannya bertumpu pada bidang sains dan teknologi. Menurutnya, kandungan buku tersebut bukanlah sebuah fiksyen ataupun cereka sains seperti dalam karya genre novel.\nBeliau turut menegaskan bahawa sebuah buku ilmiah sains dan teknologi yang berkualiti perlu ditulis dengan bahasa yang lebih teknikal ataupun menggunakan laras bahasa ilmiah dan lengkap berformat. Hal ini kerana buku yang dihasilkan itu berdasarkan kajian yang telah dijalankan.\nHarapan beliau agar bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu yang menjadi rujukan di seluruh dunia dan menyatakan kerelevanan bahasa Melayu sebagai wahana ilmu bagi bidang sains dan teknologi. Penyataannya turut diperkukuhkan melalui sebuah kajian.\nApabila seseorang itu mempelajari sains dalam bahasa ibundanya, dia akan jadi lebih hebat. Kreativiti dan pemahamannya menjadi lebih cepat. Hal ini berbeza apabila dia terpaksa mempelajari sains dan teknologi dalam bahasa asing.\nSelain itu, beliau berpendapat bahawa anugerah dan hadiah buku negara yang berkaitan dengan sains dan teknologi sangat kurang berbanding dengan anugerah dan hadiah buku sastera. Walau bagaimanapun, pengiktirafan dan pemberian hadiah atau anugerah yang berlangsung baru-baru menjadi satu dorongan kepada para penulis bidang sains dan teknologi untuk menghasilkan pelbagai buku yang berkaitan bidang tersebut.\nUntuk sains dan teknologi macam kurang sedikit sedangkan itulah dorongannya untuk memenangi hadiah. Semoga selepas ini lebih banyak lagi penganugerahan diberikan kepada buku dalam bidang sains dan teknologi.\n\u00a0\nSementara itu, Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin turut berkongsi pendapat yang sama dengan Prof. Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar. Beliau menambah bahawa buku-buku yang memenangi hadiah buku bagi kategori sains dan teknologi baru-baru ini perlu diarusperdanakan dalam konteks pembelajaran. Hal ini kerana beliau berpendirian bahawa buku-buku dalam bidang sains dan teknologi yang ditulis dalam bahasa Melayu akan memudahkan golongan yang mempelajari aliran sains.\nPara pelajar aliran sains yang mempelajari sains dan teknologi dalam bahasa ibundanya akan menjadikan mereka pelajar yang hebat. Proses pemahaman juga akan menjadi lebih cepat berbanding dengan mempelajarinya dalam bahasa asing." "Majlis Prapelancaran Kamus Melanau Mato Daro\u2013Bahasa Melayu Memartabatkan Bahasa Ibunda\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSarikei \u2013 Majlis Prapelancaran Kamus Melanau Mato Daro\u2013Bahasa Melayu yang berlangsung pada 27 November 2022 di Dewan Suarah, Sarikei, Sarawak merupakan antara usaha untuk memelihara bahasa ibunda di negeri ini. Majlis ini dianjurkan oleh Persatuan Melanau Sarikei dengan kerjasama Jawatankuasa Pembinaan Kamus Melanau Mato Daro\u2013Bahasa Melayu, dan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS).\nProjek penghasilan kamus ini merupakan hasil pembinaan dan pengesahan manuskrip Kamus Melanau Mato Daro\u2013Bahasa Melayu yang telah dilaksanakan sejak tahun 2019. Atas kesinambungan kerja-kerja pembinaan dan pengesahan manuskrip ini, maka manuskrip lengkap Kamus Melanau Mato Daro\u2013Bahasa Melayu telah siap dihasilkan pada bulan Oktober 2022 sebelum diserahkan kepada DBP untuk proses penilaian, penyuntingan dan penerbitan.\nMasyarakat Melanau Mato Daro merupakan kumpulan etnik Melanau yang majoritinya mendiami kawasan Matu, Daro, Sarikei dan Sibu. Bahasa Melanau mempunyai beberapa variasi yang tersendiri sehingga wujud perbezaan yang ketara dari segi kosa kata dan intonasi.\nVarian bahasa Melanau yang dituturkan oleh kumpulan ini mempunyai variasi yang berbeza daripada masyarakat Melanau yang mendiami kawasan lain seperti Dalat, Igan, Rajang dan Seduan. Namun begitu, varian Mato Daro dianggap yang paling mudah difahami dalam kalangan kumpulan Melanau, berikutan keupayaan orang luar yang mudah menuturkan bahasa Melanau Mato Daro dalam masa yang singkat.\nBahasa Melanau Mato Daro dituturkan oleh penduduk Melanau di beberapa buah kampung dari Kuala Matu, Sok, Tian, Bawang, Jemoreng, Sekaan, Pangtray, Lemang Pek, Nangar, Tebaang, Kampung Tengah, Itol, Badong, Tekajong, Penipah, Sallah Imit, Betanak, Penibong, Penuai, Kut, Semop, Saai, Sebakau dan Sedi.\nMajlis Prapelancaran Kamus Melanau Mato Daro\u2013Bahasa Melayu ini disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Abang Mohamad Porkan Haji Abang Budiman (Timbalan Residen Sarikei). Menurut beliau, kerajaan Sarawak akan sentiasa memberikan sokongan terhadap aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan oleh agensi kerajaan dan sektor swasta.\nAntara tetamu yang turut hadir dalam majlis ini termasuklah YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa (Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP), YBrs. Encik Abang Haliman Haji Abang Julai (Pengarah DBPCS), YBrs. Tuan Haji Sulaiman Haji Buhari (Presiden Persatuan Melanau Sarikei), dan YBrs. Dr. Raduan Serap (Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kamus Melanau Mato Daro\u2013Bahasa Melayu) dan YBrs. Dr. Haji Santrol Abdullah (Pakar Rujuk Jawatankuasa Pembinaan Kamus Melanau Mato Daro\u2013Bahasa Melayu, merangkap Ketua Bahagian Akademi, DBP).\nPenganjuran Majlis Prapelancaran Kamus Melanau Mato Daro\u2013Bahasa Melayu ini telah berjaya mencapai objektif pelaksanaannya, iaitu merangsang semangat jati diri dalam kalangan masyarakat Sarawak supaya lebih peka akan bahasa ibunda dan budaya warisan Sarawak, seterusnya memartabatkannya untuk tujuan pelestarian bahasa. Secara tidak langsung, hal ini menunjukkan kesungguhan pelbagai pihak yang bersinergi dengan DBPCS bagi memastikan pelestarian bahasa sukuan di negeri Sarawak terus terpelihara." "Pengulas Sukan Perlu Mahir Berbahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pengaplikasian dan penyesuaian laras bahasa dalam setiap perkara terutamanya dalam aktiviti berkomunikasi merupakan antara penerapan elemen yang perlu dititikberatkan. Tanpa laras bahasa yang tepat sudah pasti akan menyukarkan audiens mengikuti dan memahami setiap maklumat yang diterima dalam sesebuah aktiviti berkomunikasi.\nSehubungan dengan itu, program Canai Bahasa dan Sastera mengupas tajuk \u201cLaras Bahasa Pengulas Sukan\u201c dengan menampilkan tiga orang ahli panel yang cukup terkenal dengan sukan tanah air, iaitu Encik Izwan Mohd Nor, Tuan Haji Zainal Abidin Rawop dan Encik Hafizal Hamad. Sementara itu, moderator bagi siri yang terakhir ini dikendalikan\u00a0 oleh Encik Rusdi Abd.Rahman, Perancang Bahasa dari Dewan Bahasa dan Pustaka.\nMenurut Tuan Haji Zainal Abidin Rawop, kaedah dan pendekatan yang digunakan oleh pengulas sukan lebih kepada memudahkan penyampaian dan pemahaman para penonton dan juga pendengar. Bahkan, beliau turut berkongsi pengalaman dan pelibatan beliau dalam dunia penyampai radio.\nPengaplikasian bahasa baku menjadi keutamaan dan bahasa rojak menjadi satu larangan disebabkan siaran radio di Malaysia pada waktu itu sangat mengutamakan penggunaan bahasa baku. Namun begitu, disebabkan oleh peredaran masa, penggunaan bahasa baku semakin kurang didengari.\nEncik Hafizal Hamad juga berkongsi pandangan yang sama dengan Tuan Haji Zainal Abidin.\nDalam era yang serba moden, apabila kita berbicara di kaca TV atau media sosial dan sebagainya, ulasan itu lebih menjurus untuk memahamkan penonton itu sendiri. Contohnya seperti acara terjun, terma seperti darjah kesukaran masih digunakan tetapi apabila membabitkan teknik terjunan, kami perlu menggunakan bahasa yang mudah difahami.\nTambah beliau lagi, kemahiran berbahasa merupakan satu kemahiran utama yang perlu dikuasai.\nSaya suka memartabatkan loghat untuk menarik minat penonton supaya mereka tunggu di depan TV.\nBerdasarkan pengalamannya sebelum ini, beliau mendapati bahawa kemahiran berbahasa memberikan impak yang cukup besar kepada penonton ketika membuat ulasan sukan dengan penerapan adunan dialek, perumpamaan dan bahasa yang mudah difahami.\nSementara itu, Encik Izwan Mohd Nor juga bersetuju dengan kedua-dua pandangan panel tersebut. Bagi beliau, kepentingan memartabatkan bahasa dalam penyampaian menjadi keutamaan. Namun begitu, ada beberapa terma atau perkataan asing yang digunakan ketika sesi penyampaian di dalam ulasan.\n\u00a0Ada di beberapa bahagian, kita terpaksa menggunakan istilah bahasa Inggeris. Kita perlu menggambarkannya untuk memudahkan orang faham dan jikalau boleh diubah kepada bahasa Melayu, seboleh-bolehnya kami cuba ubah.\nMenurut beliau, kemahiran berbahasa merupakan keperluan utama yang perlu dimiliki oleh individu yang bercita-cita untuk menjadi seorang pengulas sukan.\nKalau kita tidak ada penggunaan bahasa yang tepat atau menggunakan bahasa yang cacamarba, perkara itu akan menjadi ikutan. Kita ialah staf barisan hadapan yang tidak menampakkan muka dan hanya menggunakan suara. Oleh itu, perlu ingat bahawa sukan ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Jika penggunaan bahasa itu tidak cantik, apa akan jadi kepada orang yang mendengar? Itu satu perkara yang sangat penting." "Falsafah Bahasa Za\u02bbba\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nFalsafah bahasa Za\u02bbba\u00a0agak kurang dibicarakan sama\u00a0ada dalam dunia akademik\u00a0atau secara\u00a0umum. Cuma yang banyak dibicarakan tentang Za\u02bbba\u00a0adalah dari sudut linguistik atau tatabahasa dan juga pemikiran beliau tentang kemunduran dan kemiskinan masyarakat Melayu.\nBertitik tolak daripada hal\u00a0itu, kita seharusnya melihat kembali ungkapan Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang memuji Za\u02bbba\u00a0dalam syarahannya\u00a0bahawa karangannya yang diberi nama Pelita Bahasa Melayu itu sungguh benar, iaitu\u00a0pelita yang menerangi suasana kelam keliru dan petunjuk\u00a0jalan ke arah kesedaran orang Melayu akan nilai bahasanya yang merupakan jiwa bangsa itu. Dalam hal ini, Al-Attas merupakan seorang yang mengerti tentang falsafah bahasa Za\u02bbba. Walaupun buku Pelita Bahasa Melayu\u00a0membicarakan soal bahasa, namun buku ini\u00a0turut menyentuh\u00a0aspek pemikiran.\nTulisan pada kali ini akan menyentuh tentang hubungan bahasa dengan pemikiran. Antara masalah yang terpaksa ditempuhi oleh pengkaji ialah persoalan tentang apakah Za\u02bbba\u00a0mempunyai falsafah bahasa? Hal ini kerana Za\u02bbba\u00a0tidak pernah menerbitkan sebarang karya khusus yang membicarakan falsafah bahasa. Boleh jadi Za\u02bbba\u00a0tidak menulis karya yang sedemikian disebabkan\u00a0oleh\u00a0tradisi kepengarangan Melayu. Contohnya seperti Sheikh Daud al-Fathani,\u00a0iaitu idea tentang falsafah bahasa beliau yang banyak dijumpai dalam fatwanya sedangkan beliau tidak mempunyai karya khusus yang membincangkan tentang falsafah bahasa.\nNamun\u00a0begitu, jika kita meneliti secara jelas dalam Pelita Bahasa Melayu, terdapat penerapan falsafah linguistik di dalamnya. Penggunaan data dalam Pelita Bahasa Melayu\u00a0menjadi bukti bahawa karya tersebut mengandungi falsafah linguistik. Jika ada falsafah linguistik, sudah semestinya ada falsafah bahasa. Kebiasaannya, falsafah\u00a0linguistik itu diterbitkan daripada kefahaman yang mendalam mengenai hakikat bahasa itu sendiri.\nWalau bagaimanapun, di\u00a0manakah kedudukan falsafah bahasa Za\u02bbba\u00a0jika Za\u02bbba\u00a0sendiri tidak pernah mengarang sebarang karya pun yang berkaitan dengan falsafah bahasa? Falsafah bahasa Za\u02bbba\u00a0kebanyakan tersirat dalam pelbagai karyanya. Maka\u00a0itu,\u00a0sudah menjadi tanggungjawab pengkaji untuk mentafsir\u00a0sendiri karya-karya milik Za\u02bbba\u00a0jika ingin mengetahui falsafah bahasanya.\nFalsafah bahasa Za\u02bbba\u00a0mempunyai hubungan yang rapat dengan keadaan semasa pada ketika itu yang dilanda gelombang reformisme atau proses pengislahan masyarakat Muslim\u00a0seluruh dunia. Idea pengislahan adalah bertujuan untuk membebaskan pemikiran masyarakat daripada kejumudan dan taklid buta. Bagi membebaskan pemikiran, proses berfikir harus berlaku. Oleh itu, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mengislahkan bahasa.\nDengan memetik tulisan Al-Attas, apabila bahasa sudah disekularkan, pemikiran turut sama disekularkan. Begitu juga sebaliknya. Maka untuk mengislahkan pemikiran, mahu atau tidak\u00a0mahu mesti bermula dengan pengislahan bahasa. Dari sinilah Za\u02bbba\u00a0menulis karya agung bahasanya, iaitu Pelita Bahasa Melayu\u00a0yang bertujuan untuk mengislahkan bahasa.\nKonsep tatabahasa yang terkandung dalam Pelita Bahasa Melayu\u00a0dikategorikan sebagai nahu tradisional kerana sesuai digunakan bagi peringkat sekolah dan maktab untuk tujuan pembelajaran bahasa. Nahu yang diguna\u00a0pakai oleh Za\u02bbba\u00a0bersifat perskriptif berbanding\u00a0dengan\u00a0konsep deskriptif yang melihat sesuatu bahasa itu digunakan oleh penuturnya secara alamiah.\nDi dalam buku tersebut, Za\u02bbba\u00a0merangka peraturan, iaitu peraturan itu dianggap benar oleh beliau berdasarkan pengalamannya\u00a0dan ilmu yang beliau miliki. Penutur bahasa Melayu harus mengikuti peraturan tersebut. Tujuan karya ini dikarang adalah untuk membetulkan cara dan gaya penutur bahasa Melayu agar menggunakan bahasa tersebut dengan betul supaya sesuatu perkara dapat disampaikan dengan sempurna.\nWalau bagaimanapun, apakah timbangan untuk memastikan sesuatu bahasa itu betul dan siapakah yang selayaknya menentukan perkara tersebut? Yang dikatakan bahasa yang betul ialah betul dari sudut struktur ayat dan tepat dari segi makna. Orang yang layak untuk menilai kebenaran sesuatu bahasa pula mestilah yang mempunyai kewibawaan\u00a0dalam sesuatu bidang atau secara umumnya ahli bahasa. Penggunaan bahasa yang betul ini perlu kerana mencerminkan lurusnya pemikiran penutur.\nJika diteliti karya Za\u02bbba, kita boleh mengelompokkan\u00a0Za\u02bbba\u00a0dalam kumpulan pengikut Herderian yang totok. Menurut Herder, hakikat sesebuah pemikiran itu ditambat dan tergantung pada bahasa. Secara mudahnya, dengan bahasalah manusia berfikir\u00a0dan\u00a0tanpa bahasa manusia tidak boleh berfikir. Namun\u00a0begitu, fahaman seperti ini telah banyak disanggah oleh sarjana yang kemudian.\nBerbalik semula kepada pengislahan bahasa, metode yang dipakai oleh Za\u02bbba\u00a0ialah pemeringkatan. Za\u02bbba\u00a0bermula dengan perkataan,\u00a0kemudian baru disudahi dengan ayat-ayat. Hal ini demikian kerana perkataan ialah unit asas dalam bahasa sebelum berkembang menjadi ayat. Sesuatu\u00a0perkataan menjadi bermakna jika digunakan dalam konteks ayat yang betul. Oleh sebab itulah Raja Ali Haji menulis Kitab Pengetahuan Bahasa yang memuatkan perkataan berserta\u00a0takrifnya kerana dengan takriflah dapat memberikan\u00a0makna perkataan dengan tepat.\nKetepatan ayat terbit daripada\u00a0ketepatan perkataan yang kita gunakan untuk ayat tersebut dan daripada ayat inilah dunia dihidupkan. Perkataan adalah cerminan dunia. Dalam Pelita Bahasa\u00a0Melayu\u00a0ada tiga kaedah yang diutarakan oleh Za\u02bbba\u00a0untuk membina ayat yang betul,\u00a0iaitu tertib, penguncian dan persesuaian. Selain itu, Za\u02bbba\u00a0juga memberikan\u00a0penekanan pada inti perkataan,\u00a0iaitu nama, perbuatan dan sifat.\nKesimpulannya, walaupun Za\u02bbba\u00a0tidak memiliki karya yang khusus bagi membicarakan soal falsafah bahasa, nilai-nilai falsafah tersebut dapat ditelusuri dalam karya agung beliau,\u00a0iaitu Pelita Bahasa Melayu. Karya ini menjadi bukti bahawa Za\u02bbba\u00a0merupakan seorang yang berkemahiran tinggi dalam bidang bahasa dan menggunakan bahasa sebagai jalan bagi memajukan masyarakat Melayu pada masa itu.\n\u00a0\n***Artikel ini hasil laporan syarahan bersama-sama Dr. Tarmizi Hasrah yang bertajuk \u201cFalsafah Bahasa Za\u02bbba\u201c." "Tradisi Merantau Membawa Bahasa Melayu Bersama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPeribahasa Melayu yang menyebut \u201cJauh perjalanan luas pemandangan\u201d\u00a0\u00a0sememangnya tepat untuk individu yang gemar berkelana dari suatu tempat ke suatu tempat\u00a0yang\u00a0lain bagi menambahkan\u00a0ilmu pengetahuan di samping berkongsi jati diri bangsa bersama dengan masyarakat lain. Tradisi merantau juga mencipta evolusinya sendiri apabila pada zaman kesultanan Melayu, aktiviti itu dapat dikaitkan dengan aktiviti riadah dan untuk menjalin\u00a0hubungan\u00a0diplomatik antara kerajaan bagi mengukuhkan hubungan menerusi penghantaran utusan kerajaan. Kedua-dua elemen merantau ini telah memberikan\u00a0galakan\u00a0yang\u00a0positif terhadap komunikasi silang budaya dan bahasa sehingga dapat dirasai pada hari ini.\nPada masa yang sama, tujuan merantau di dunia tanpa batasan ini juga berubah mengikut peredaran zaman. Objektif utamanya bukan lagi berfokus kepada hal ehwal pemerintahan semata-mata tetapi skop merantau menjadi lebih luas termasuklah yang bersifat santai. Tidak dinafikan,\u00a0keperluan merantau pada abad ke-21 ini banyak dipengaruhi oleh keperluan menjanakan\u00a0sosioekonomi bagi \u00a0meningkatkan taraf kehidupan masing-masing. Misalnya, penglibatan pelancong peniagaan dan terdapat juga perantau ke luar negara untuk mencari pekerjaan yang sesuai selain terlibat dengan bidang akademik seperti menyambung pengajian, pertukaran pelajar dan staf antara negara dan juga terlibat dengan persidangan antarabangsa untuk berkongsi hasil penyelidikan di samping aktiviti agama dan juga perkahwinan.\nDampak merantau turut melibatkan perkembangan bahasa Melayu \u00a0terutamanya di luar negara. Tidak dinafikan bahawa sifat wewenang pada bahasa Melayu itu sendiri telah memudahkannya\u00a0menyerap masuk ke dalam kehidupan kelompok yang menggemarinya. Hal ini terbukti semasa penulis bertemu dengan rakan di Eropah yang belajar bahasa Melayu dengan tujuan pelancongan. Oleh itu, tidak mustahil dengan aktiviti merantau ini\u00a0dapat\u00a0membantu pengukuhan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.\nPerantau Malaysia di luar negara juga dapat dinyatakan sebagai kelompok yang tidak seperti \u201ckacang lupakan kulit\u201d\u00a0kerana masih utuh dengan jati bahasanya sendiri apabila tetap memperkenalkan kosa kata bahasa Melayu. Antara yang popular digunakan termasuklah yang\u00a0berkaitan dengan kosa kata yang berkisar tentang makanan, bahan ramuan dalam masakan, nama bunga-bungaan dan nama gadis Melayu. Misalnya, di United Kingdom, kosa kata pada papan tanda kedai makanan menggunakan perkataan Makan, Melur, Normah\u2019s, dan Puteraputeri. Di Amerika Syarikat juga terdapat penemuan kosa kata adjektif seperti Rasa, dan percampuran kod bahasa,\u00a0iaitu Belacan Grill Malaysian Bistro. Di Mekah pula, ada nama Nur Malaysia dan Rasa Malaysia.\nSatu peristiwa yang penting tercatat dalam sejarah Malaysia,\u00a0iaitu pada 14 Oktober 2022 apabila Yang\u00a0di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian pembukaan hartanah ikonik pelaburan Malaysia,\u00a0iaitu Battersea Power Station (BPS)\u00a0dan menjadi ikon baharu buat masyarakat di Kota London. Perkara yang menarik perhatian menerusi peristiwa ini adalah apabila bait-bait perkataan dalam pantun Melayu dibacakan oleh Ahmad Zulqainain Onn, Presiden yang merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan PNB,\u00a0sewaktu pelancaran yang berbunyi\u00a0\u201cTikar jerami bercorak sauh, Diikat-ikat anak nelayan;\u00a0Bertandang kami ke tempat yang jauh, Tekad dan muafakat resipi kejayaan\u201d, di samping persembahan koir lagu rakyat,\u00a0Wau Bulan.\nWalaupun tradisi merantau menerusi perdagangan antarabangsa dipayungi oleh\u00a0penggunaan bahasa Inggeris sebagai medium utama tetapi hal itu\u00a0tidak melekakan bangsa Malaysia untuk memperkasakan\u00a0dan menyemai sikap berbangga untuk membawa bahasa Melayu pada tahap yang sepatutnya tanpa mengenyahkan kebenaran asimilasi budaya asing dalam kehidupan umpama\u00a0\u201cYang lama dikelek, yang baharu didukung\u201d.\nPenggunaan bahasa Melayu di luar negara yang acap kali dibincangkan adalah dari aspek akademik,\u00a0iaitu penawaran program bahasa Melayu di institusi pengajian luar negara seperti di Beijing Foreign Studies University (BFSU), China dan Hankuk University of Foreign Studies (HUFS), Korea Selatan,\u00a0selain urusan rasmi kerajaan yang meninggalkan rasa takjub kepada pendengar apabila Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia,\u00a0Brian D.McFeeters, fasih berbahasa Melayu dalam ucapan beliau berkenaan dengan COVID-19 (https://youtu.be/ITwLPMzyGHE).\nPada kesinambungan itu, penulis mendapati bahawa medium YouTube menjadi antara platform utama perkongsian maklumat tentang bahasa Melayu oleh bukan penutur jati bahasa Melayu. Perkara ini membuktikan keberhasilan komunikasi berintegrasi daripada tradisi merantau oleh bangsa Malaysia terhadap masyarakat tempatan di seluruh dunia telah memberikan\u00a0ruang kesungguhan kepada kelompok minoriti bukan jati penutur untuk mengungkapkan bahasa Melayu dengan yakin dan berketrampilan.\nPerkara yang dapat diperhatikan ialah perkongsian kandungan idea daripada saluran YouTube ini bersifat santai dan berbentuk hiburan. Contohnya, saluran\u00a0HoonDooTV \ud6c8\ub450TV (https://www.youtube.com/@HoonDooTV/featured), yang dikendalikan oleh penyanyi popular yang bernama Paradise Hoon and Doo jinsoo yang\u00a0mempunyai pelanggan sebanyak\u00a0109 ribu orang. Mereka sangat popular di Korea kerana sering kali berkongsi nyanyian dalam lagu-lagu berbahasa Melayu oleh artis popular Malaysia seperti kumpulan Wing, Search, Spin, Aina Abdul dan Siti Sarah. Nyanyian yang didendangkan secara duo ini sangat unik kerana selain menyanyikan lirik dalam bahasa Melayu, penyanyi ini turut menterjemahkan lirik lagu tersebut ke dalam bahasa Korea agar dapat difahami oleh masyarakat di sana. Setiap lagu dalam bahasa Melayu yang dinyanyikan mereka pastinya mendapat tempat dan perhatian apabila banyak\u00a0pelanggan menonton setiap video yang dihasilkan\u00a0mereka.\n\nSaluran YouTube dalam bentuk penyampaian pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu yang mudah juga diusahakan oleh individu yang berasal dari Korea dan Jepun. Menerusi saluran Korean LangOppa \uc5b8\uc5b4\u00a0 \ub2c9\u00a0(https://www.youtube.com/@koreanlangoppa647) dengan tajuk \u201cKenapa Orang Korea Belajar Bahasa Melayu\u201d\u00a0dan saluran Kouji Jepun (https://www.youtube.com/@KoujiJepun) dengan tajuk \u201cKenapa Bahasa Melayu makin popular di Jepun/Orang Jepun bersembang dalam bahasa Melayu\u201d\u00a0yang menunjukkan bahawa orang Asia dari kedua-dua buah negara ini lancar bertutur dan memahami bahasa Melayu.\n\nSelain itu, peniaga di Timur Tengah seperti Mesir, lazimnya tahu berbahasa Melayu sementara pasangan yang berkahwin dengan orang Malaysia\u00a0itu sendiri berinisiatif untuk belajar bahasa ibunda pasangan masing-masing dan memuat turun video di saluran YouTube masing-masing serta menjadi pempengaruh kepada masyarakat yang ingin mengetahui tentang bahasa Melayu dan Malaysia. Hal ini dilakukan adalah atas dasar minat dan juga tertarik dengan sifat bahasa Melayu di samping adab susila orang Melayu itu sendiri. Jika diamati, terdapat pelbagai saluran YouTube sebegini rupa yang seumpama cendawan tumbuh selepas hujan, yang menjadi kebanggaan bagi\u00a0Malaysia.\nTradisi merantau yang dilakukan oleh orang Malaysia ke merata tempat atas faktor ekonomi, sosial dan budaya telah memberikan\u00a0kesan kepada perkembangan bahasa Melayu. Golongan ini dapat dianggap sebagai duta kecil Malaysia walaupun terdapat individu yang mengambil keputusan untuk menjadi pemastautin di negara-negara tertentu. Namun disebabkan cinta dan tanggungjawab terhadap tanah air telah membawa bersama-sama mereka bahasa Melayu. Kesannya, banyak\u00a0bangsa asing yang telah jatuh cinta kepada keistimewaan bahasa Melayu. Justeru itu, wahai bangsaku, merantaulah! Bawalah bersama-sama bahasa kebangsaan Malaysia di mana-mana sahaja\u00a0anda\u00a0berada. Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad \u2212 Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, yang juga Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan." "Perihal Kesalingan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerbuatan yang mendukung maksud kesalingan ialah perbuatan yang berbalas-balas antara dua pihak. Dalam bahasa Melayu, hal ini dapat ditunjukkan melalui pelbagai mekanisme, termasuklah\u00a0proses pengimbuhan.\nAwalan beR-\u00a0dapat membawa maksud kesalingan jika diimbuh pada kata kerja yang melibatkan perbuatan tertentu. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n1a. \u00a0Aminah dan Hasnah berpeluk.\n1b. \u00a0Aminah berpeluk\u00a0dengan Hasnah.\nDalam kelompok ayat 1, kata kerja berpeluk\u00a0membawa maksud perbuatan serentak yang berbalas-balas, seperti yang berikut:\n2a. \u00a0Aminah memeluk\u00a0Hasnah.\n2d. \u00a0Hasnah memeluk\u00a0Aminah.\nSelain kata kerja berpeluk, kata kerja lain yang melibatkan maksud kesalingan meliputi contoh seperti bertemu, bersalam, bertengkar, bertumbuk, bergaduh, berperang, dan yang sebagainya.\nSelain imbuhan beR-, imbuhan beR-.-kan\u00a0dan imbuhan beR-.-kan\u00a0dengan kata dasar ganda juga dapat membawa maksud kesalingan. Sila lihat contoh yang berikut:\n3a. \u00a0Aminah dan Hasnah berpelukan.\n3d. \u00a0Aminah dan Hasnah berpeluk-pelukan.\nSatu lagi mekanisme yang melibatkan maksud kesalingan ialah kata saling\u00a0yang mengiringi kata kerja tertentu. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n4a. \u00a0Ali dan Ahmad saling membantu.\n4b. \u00a0Hashim dan Hasan saling menghormati.\nKata kerja membantu\u00a0dan menghormati\u00a0merupakan kata kerja transitif, dan harus diikuti oleh objek. Walau bagaimanapun, apabila kata kerja tersebut didahului oleh kata adverba saling, kata kerja tersebut menjadi tidak transitif, dan tidak lagi diikuti oleh objek.\nKelompok ayat 4 dapat juga ditulis semula seperti yang berikut:\n5a. \u00a0Ali dan Ahmad bantu-membantu.\n5b. \u00a0Hashim dan Hasan hormat-menghormati.\nDalam kelompok ayat 5 di atas, kata bantu-membantu\u00a0dan hormat-menghormati merupakan kata ganda separa. Hal ini dapat dianalisis seperti yang berikut:\nKata dasar \u2013 membantu\nGandaan \u2013 bantu\nKata dasar \u2013 menghormati\nGandaan \u2013 hormat\nBerdasarkan analisis di atas, gandaan bagi kata ganda separa hanya mengulang kata dasar tanpa mengulang imbuhannya, iaitu mem-\u00a0bagi kata kerja membantu\u00a0dan meng-.-i\u00a0bagi kata kerja menghormati.\nSama seperti kelompok ayat 4, kelompok ayat 5 mendukung maksud seperti yang berikut:\n6a. \u00a0Ali membantu\u00a0Ahmad.\n6b. \u00a0Ahmad membantu\u00a0Ali.\n7a. \u00a0Hashim menghormati\u00a0Hasan.\n7b. \u00a0Hasan menghormati\u00a0Hashim.\nBagi kelompok ayat 5, kata kerja transitif membantu\u00a0dan menghormati\u00a0yang mengalami proses penggandaan separa tidak lagi transitif, dan tidak dapat diikuti oleh objek.\nOleh sebab semua mekanisme di atas mendukung maksud kesalingan, mekanisme itu tidak boleh digunakan secara serentak pada sesuatu kata kerja. Sila lihat contoh yang berikut:\n8a. \u00a0*Aminah dan Hasnah saling berpelukan.\n8b. \u00a0*Ali dan Ahmad saling bantu-membantu\nKelompok ayat 8 di atas dianggap tidak gramatis kerana terdapat maksud kesalingan yang lewah atau bertindih-tindan bagi kata kerja yang berkenaan.\nSatu lagi mekanisme kesalingan yang lazim digunakan oleh masyarakat kita ialah rangkaian kata antara satu sama lain. Rangkaian kata ini dapat kita analisis seperti yang berikut:\nBerdasarkan analisis di atas, kita akan mendapati bahawa kata sendi nama antara\u00a0diikuti oleh kata bilangan satu, bukannya kata nama. Hal ini menyalahi tatabahasa bahasa Melayu. Selain itu, kata sama\u00a0yang sefungsi dengan kata sendi nama dengan\u00a0juga tidak diikuti oleh kata nama, tetapi diikuti oleh kata adjektif lain.\nOleh hal yang demikian, rangkaian kata antara satu sama lain\u00a0sepatutnya ditulis seperti yang berikut:\nHal ini akan menghasilkan ayat seperti yang berikut:\n9a. \u00a0*Mereka menghulurkan bantuan antara satu sama lain.\n9b. \u00a0Mereka menghulurkan bantuan antara satu pihak dengan pihak lain.\n9c. \u00a0Mereka menghulurkan bantuan antara seseorang dengan orang lain.\nAyat 9b gramatis kerana sendi nama antara\u00a0diikuti oleh frasa nama satu pihak\u00a0dan pihak lain. Ayat 9b pula gramatis kerana sendi nama dengan\u00a0diikuti oleh frasa nama seseorang\u00a0dan orang lain.\nSesetengah kata kerja yang sedia mendukung maksud usaha bersama-sama atau saling membantu juga tidak sesuai digandingkan dengan kata adverba saling. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n10a. \u00a0*Mereka saling bekerjasama.\n10b. \u00a0Mereka bekerjasama.\n11a. \u00a0*Mereka saling bergotong-royong.\n11b. \u00a0Mereka bergotong-royong.\nSelain itu, contoh ayat berikut turut bersifat lewah kerana mendukung maksud kesalingan yang bertumpang-tindih.\n12a. \u00a0*Mereka saling membantu antara satu pihak dengan pihak lain.\n12b. \u00a0*Mereka bantu-membantu antara seseorang dengan orang lain." "Pelengkap yang Pelbagai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPelengkap\u00a0merupakan satu kata atau lebih yang melengkapkan maksud sesuatu ujaran atau ayat. Pada umumnya, pelengkap dikaitkan dengan kata kerja tak transitif tertentu, dan meliputi kata nama, kata adjektif dan frasa sendi nama.\nPelengkap kata nama berkaitan dengan kata kerja tak transitif ada, menjadi\u00a0dan kata kerja tak tarnsitif dengan imbuhan beR-.-kan. Sila lihat\u00a0contoh yang\u00a0berikut:\n1a. \u00a0Dia ada harta.\n1b. \u00a0Dia menjadi guru.\n1c. \u00a0Dia tidur berselimutkan embun.\nPelengkap kata adjektif berkaitan dengan kata kerja tak transitif tertentu. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n2a. \u00a0Dia menjadi pandai.\n2b. \u00a0Dia tinggal miskin.\n2c. \u00a0Kedudukannya bertambah kukuh.\n2d. \u00a0Kesihatannya beransur pulih.\nPelengkap frasa sendi nama juga berkaitan dengan kata kerja tak transitif tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:\n3a. \u00a0Dia berasal dari Kedah.\n3b. \u00a0Lori itu membelok ke kiri.\n3c. \u00a0Dia singgah di kedai buku.\n3d. \u00a0Dia tinggal di kampung\n3e. \u00a0Dia menetap di Miri.\nPelengkap juga boleh meliputi klausa pancangan komplemen. Sila lihat contoh yang berikut:\n4a. \u00a0Dia berpendapat bahawa pendidikan penting.\n4b. \u00a0Dia berharap bahawa dia dapat balik ke kampung.\nWalau bagaimanapun, ada kata kerja tak transitif yang dapat menerima dua jenis pelengkap, atau tidak diikuti pelengkap. Hal ini bergantung pada konteks ayat yang berkenaan. Sila lihat contoh yang berikut:\n5a. \u00a0Dia menjadi guru. (pelengkap kata nama)\n5b. \u00a0Dia menjadi pandai. (pelengkap kata adjektif)\n5c. \u00a0Tanamannya menjadi. (tanpa pelengkap)\n\u00a0\n6a. \u00a0Dia tinggal miskin. (pelengkap kata adjektif)\n6b. \u00a0Dia tinggal di Miri. (pelengkap frasa sendi nama)\nSelain pelengkap yang wajib, terdapat juga pelengkap yang tidak wajib. Sila lihat contoh yang berikut:\n6a. \u00a0Dia bermain bola.\n6b. \u00a0Dia bermain.\n\u00a0\n7a. \u00a0Dia belajar muzik.\n7b. \u00a0Dia belajar.\nDalam ayat 6a dan 7a, pelengkap kata nama bola\u00a0dan muzik\u00a0menjadikan maksud ayat lebih khusus dan lebih jelas berbanding dengan ayat 6b dan 7b yang tidak dilengkapi pelengkap. Walau bagaimanapun, pelengkap pada ayat 6a dan 7a bersifat pilihan, dan boleh digugurkan tanpa menjejaskan struktur ayat.\nBiasanya kata kerja transitif hanya perlu diikuti oleh objek, sama ada objeknya ialah kata tunggal, frasa atau klausa komplemen. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n8a. \u00a0Dia menebang pokok. \u00a0\u00a0(objek kata nama)\n8b. \u00a0Dia merebus udang gara itu. \u00a0\u00a0(objek frasa nama)\n8c. \u00a0Dia menyedari bahawa dirinya telah ditipu. \u00a0\u00a0(objek klausa komplemen)\nWalau bagaimanapun, terdapat sebilangan kata kerja transitif dengan objek yang perlu dilengkapkan maksudnya dengan pelengkap. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n9a. \u00a0Tuhan menjadikan alam ini.\n9b. \u00a0Tuhan mewujudkan alam ini.\n\u00a0\n10a. \u00a0Perbuatannya menjadikan ibunya marah.\n10b. \u00a0*Perbuatannya menjadikan ibunya.\n\u00a0\n11a. \u00a0Kekasarannya menjadikan adiknya menangis.\n11a. \u00a0*Kekasarannya menjadikan adiknya.\n\u00a0\n12a. \u00a0Dia menjadikan anaknya pengurus.\n12b. \u00a0*Dia menjadikan anaknya.\nDalam kelompok ayat 9, kata kerja transitif menjadikan\u00a0yang bermaksud \u201cmewujudkan\u201d hanya perlu diikuti oleh objek alam ini. Namun demikian, dalam kelompok ayat 10, ayat yang berkenaan tidak sempurna maksudnya jika kata kerja transitif menjadikan\u00a0dan objeknya ibunya\u00a0tidak diikuti oleh pelengkap kata adjektif seperti marah. Dalam kelompok ayat 11, kata kerja transitif menjadikan\u00a0dengan objeknya adiknya\u00a0tidak lengkap maksudnya jika tidak diikuti oleh pelengkap kata kerja menangis. Dalam kelompok ayat 12 pula, kata kerja transitif menjadikan\u00a0dengan objeknya anaknya\u00a0tidak lengkap maksudnya jika tidak diikuti oleh pelengkap kata nama pengurus.\nSelain kata kerja transitif menjadikan, kata transitif menyebabkan\u00a0dan mengakibatkan\u00a0juga perlu diikuti objek dan pelengkap yang sesuai. Sila lihat contoh yang berikut:\n12a. \u00a0Perbuatannya menyebabkan ibunya marah.\n12b. \u00a0*Perbuatannya menyebabkan ibunya.\n\u00a0\n13a. \u00a0Kekasarannya menyebabkan adiknya menangis.\n13a. \u00a0*Kekasarannya menyebabkan adiknya.\n\u00a0\n14a. \u00a0Perbuatannya mengakibatkan ibunya marah.\n14b. \u00a0*Perbuatannya mengakibatkan ibunya.\n\u00a0\n15a. \u00a0Kekasarannya mengakibatkan adiknya menangis.\n15a. \u00a0*Kekasarannya mengakibatkan adiknya.\nWalau bagaimanapun, kata kerja menjadikan, menyebabkan\u00a0dan mengakibatkan\u00a0yang perlu diikuti oleh objek dan pelengkap dapat digantikan dengan kata kerja transitif lain yang tidak memerlukan pelengkap. Sila lihat contoh yang berikut:\n16a. \u00a0Perbuatannya menjadikan ibunya marah.\n16b. \u00a0Perbuatannya menyebabkan ibunya marah.\n16c. \u00a0Perbuatannya mengakibatkan ibunya marah.\n16d. \u00a0Perbuatannya memarahkan ibunya.\n\u00a0\n17a. \u00a0Hasutannya menjadikan pergaduhan tercetus.\n17b. \u00a0Hasutannya menyebabkan pergaduhan tercetus.\n17c. \u00a0Hasutannya mengakibatkan pergaduhan tercetus.\n17d. \u00a0Hasutannya mencetuskan pergaduhan.\n\u00a0\n18a. \u00a0Kecuaiannya menjadikan masalah timbul.\n18b. \u00a0Kecuaiannya menyebabkan masalah timbul.\n18c. \u00a0Kecuaiannya mengakibatkan masalah timbul.\n18d. \u00a0Kecuaiannya menimbulkan masalah.\nAyat 16d tidak perlu dilengkapi dengan sebarang pelengkap kerana kata kerja transitif memarahkan\u00a0sudah mendukung maksud \u201cmenjadikan seseorang marah\u201d. Ayat 17d tidak perlu dilengkapi dengan sebarang pelengkap kerana kata kerja transitif mencetuskan\u00a0sudah mendukung maksud \u201cmenjadikan sesuatu hal tercetus\u201d. Ayat 18d pula tidak perlu dilengkapi dengan sebarang pelengkap kerana kata kerja transitif menimbulkan\u00a0sudah mendukung maksud \u201cmenjadikan sesuatu perkara timbul\u201d." "Bahasa dan Budaya Membangunkan Tamadun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBahasa memainkan peranan yang penting dalam kehidupan masyarakat. Bahasa yang baik dan mudah difahami serta boleh dituturkan oleh masyarakat seperti bahasa Melayu mampu membangunkan tamadun dan menjadi bahasa perpaduan dalam kalangan masyarakat. Hal ini dapat dilihat sejak negara mencapai kemerdekaan dan kini sudah 65 tahun peranan ini telah dilaksanakan oleh bahasa Melayu dengan berkesan dan berjaya.\nPembangunan dan kemajuan yang sempurna dalam kehidupan masyarakat semuanya bermula daripada penggunaan bahasa Melayu di negara ini. Paduan antara pembangunan dengan kemajuan kerohanian dan kebendaan mestilah bermula dengan penggunaan bahasa yang betul, tepat dan berkesan. Sesungguhnya, bahasa merupakan satu daripada pencapaian terawal dalam tamadun manusia.\nTamadun bangsa bukan hanya pembangunan kota dan bandar. Tamadun bangsa juga terletak pada penguasaan bangsanya menguasai bahasanya dan juga mengangkat bahasanya sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan bahasa tamadun bangsa sesuai dengan perkembangan sains dan teknologi kini dan pada masa akan datang.\nSejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah memainkan peranan yang penting dan berkesan dalam kebudayaan bagi mengeratkan perpaduan masyarakat. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu yang berdaulat telah berjaya memupuk perpaduan murid di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi. Semua itu telah dilaksanakan secara berperingkat oleh bahasa Melayu sejak tahun 1957, iaitu ketika negara mencapai kemerdekaan hingga kini.\nBahasa Melayu juga telah melalui perancangan yang rapi. Menurut Fishman el al. (1971), proses pengekodan meliputi usaha ke arah \u201cpenyerapan variasi bahasa dari segi daerah dan sosial melalui penyediaan tatabahasa, kamus, panduan ejaan dan sebagainya\u201d.\nBahasa Melayu turut melalui proses perancangan bahasa, iaitu melalui perancangan, pelaksanaan dan penilaian. Melalui proses ini, bahasa Melayu telah melalui aspek pengekodan, pemupukan dan penilaian bagi memajukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam kalangan masyarakat.\nMenurut Nik Safiah Karim dan Norliza Jamaluddin (2012), bahasa Melayu telah menuju ke arah bahasa Melayu moden melalui perancangan bahasa ini sebagai usaha memupuk ke taraf yang lebih maju, iaitu bahasa yang mampu mengungkapkan pelbagai konsep yang berkaitan dengan urusan rasmi negara dan juga kebudayaan yang mewakili kehidupan moden pada masa ini.\nMenurutnya, perkembangan bahasa Melayu moden dapat dilihat melalui usaha yang dilaksanakan oleh individu dan masyarakat serta badan dan pertubuhan tertentu. Perancangan bahasa Melayu sebagai bahasa moden diselaraskan dengan perkembangan dan kemajuan yang dicapai oleh masyarakat yang mampu dilaksanakan.\nBahasa Melayu kini menjadi media sosial, media perdagangan, media politik, media penyebaran ilmu pengetahuan, media kebudayaan, pengurusan, undang-undang, ekonomi, media pendidikan serta yang lebih utama sebagai media penyebaran dakwah dalam kehidupan agama dan budaya masyarakat. Bahasa menjadi penting dalam hubungan kehidupan masyarakat serta dalam bidang profesional yang lain.\nPeranan rakyat terutama yang menggunakan bahasa secara lisan dan tulisan, iaitu dengan berbahasa Melayu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang mudah diterima oleh semua ahli masyarakat di negara ini. Bagi membentuk perpaduan, bahasa memainkan peranan yang penting, iaitu dalam bidang pendidikan, komunikasi, dan mengamalkan budaya. Apa-apa juga kegiatan yang dilakukan dalam kebudayaan masyarakat mestilah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa komunikasi.\nClive Bell (2007) mengatakan bahawa orang yang berbudaya biasa berbicara segala macam hal melalui bahasa. Oleh itu, bahasa yang digunakan mestilah bahasa yang mudah difahami dan diterima oleh semua kaum dalam sesebuah masyarakat dan negara yang merdeka.\nPeranan bahasa sangat penting dalam mengeratkan perpaduan kaum. Bahasa yang baik dan berilmu akan menjadi bahasa pengantar, bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan seperti bahasa Melayu kepada sesebuah negara seperti Malaysia. Peranan masyarakat adalah dengan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan.\nJusteru, bahasa Melayu sebenarnya sudah lama mampu dan berfungsi sebagai peranannya dalam menyatupadukan pelbagai kaum di negara ini. Di sekolah, murid diajar dan bertutur serta berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Melayu, di samping bahasa Inggeris yang digunakan sebagai bahasa penerokaan ilmu.\nTidak ada kelebihannya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris pada setiap hari sama ada di rumah dan di tempat kerja. Tiada kekurangan pun jika berbahasa Melayu di rumah dan juga di tempat kerja serta di majlis rasmi. Bahasa Melayu lebih hebat dan indah kerana mempunyai keindahan melalui bahasa puisi seperti pantun, peribahasa dan kata-kata hikmah. Kedua-dua bahasa ini mempunyai peranan penting dalam hubungan budaya dan menambah ilmu pengetahuan.\nYang paling penting, para pengguna bahasa tidak mencampuradukkan kedua-dua bahasa ini dalam penulisan dan percakapan. Hal ini diibaratkan seperti \u201cSekerat ular dan\u00a0sekerat belut\u201d, yang boleh merosakkan bahasa terutamanya bahasa Melayu. Oleh itu, dalam kehidupan seharian sama ada di media sosial dan media baharu mestilah menggunakan bahasa Melayu yang sepenuhnya.\nManakala budaya juga dapat mengeratkan pelbagai kaum dalam kepelbagaian budaya di sesebuah negara. Setiap rakyat di negara ini yang memahami budaya kaum lain akan menghormati budaya dan adat resam mereka. Dalam hubungan kejiranan dan juga melaksanakan acara yang berkaitan dengan budaya, bahasa Melayu mestilah digunakan sebagai bahasa komunikasi.\nKini Malaysia mempunyai 32.4 \u00a0juta orang penduduk\u00a0 yang terdiri daripada lebih 200 etnik yang pelbagai berdasarkan bangsa dan kaum, struktur atau kelas sosial, bahasa, kepercayaan dan adat resam sesuatu kelompok masyarakat. Rakyat terutamanya penduduk Malaysia berperanan penting dalam mendaulatkan dan memperkasakan bahasa Melayu.\nSetiap budaya mempunyai keindahan dan keunikan yang perlu dipelihara sebagai warisan bangsa dan negara. Budaya yang unik dan dapat diterima oleh pelbagai kaum juga dapat menarik para pelancong luar negara dapat dijadikan sebagai aset pelancongan yang mendatangkan sumber ekonomi negara. Masyarakat yang berbudaya mestilah mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi yang berkesan.\nHikmah kepelbagaian sosial dan budaya juga perlu diraikan oleh setiap masyarakat. Setiap kaum perlu menginsafi dan menghormati kelainan tersebut. Kelebihan ini akan dapat menambahkan pengetahuan anggota masyarakat selain kaum itu sendiri tentang sesuatu keistimewaan kaum tersebut. Hal ini akan meningkatkan penyelidikan kajian etnik di Malaysia.\nKepelbagaian sosial budaya ini boleh menjadi produk pelancongan negara. Moto pelancongan \u2013 Malaysia Truly Asia dapat menggambarkan bahawa pelancong asing boleh mendapatkan pengalaman yang banyak hanya dengan melancong di Malaysia sahaja.\nDi samping itu, pendekatan sosial dan kebudayaan sebenarnya boleh dibentuk melalui perkongsian nilai murni yang diamalkan oleh pelbagai kaum. Misalnya, nilai menghormati antara satu sama lain. Apabila mencintai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa komunikasi yang berkesan akan menjadikan seseorang itu berusaha memartabatkan bahasa Melayu.\nMenurut pakar pengkaji etnik di Institut Kajian Etnik (KITA) dan Ketua Pegawai Penyelidik dan Felow Utama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Profesor Dr. Denison Jayasooria, ketika ditanya tentang hal ini menyatakan bahawa setakat ini peranan bahasa dan sosial budaya amat berkesan dalam mengekalkan perpaduan kaum di negara ini. Bahasa Melayu memainkan peranan dalam menyatupadukan masyarakat di negara ini.\nKatanya, perpaduan kaum melalui bahasa kebangsaan telah diamalkan sejak dahulu dan berlaku di sekolah rendah dan menengah di negara ini yang membuktikan bahawa semua murid boleh berkomunikasi dan berhubung melalui bahasa Melayu dengan baik dan berkesan. Melalui bahasa Melayu, semua murid dapat berkomunikasi dengan berkesan dan mesra dengan penuh kasih sayang.\nSehubungan dengan itu, melalui pendidikan di sekolah, perpaduan dapat diterapkan melalui bahasa dan juga melalui pemahaman budaya kaum lain melalui aktiviti budaya yang diamalkan dan diajar dalam kegiatan kokurikulum. Bahasa Melayu mesti digunakan dalam pendidikan bagi membentuk perpaduan yang jitu.\nOleh itu, setiap kaum atau etnik mempunyai ciri-ciri yang tersendiri yang dapat menunjukkan identiti yang telah diwarisi dan akan diwariskan kepada generasi pada masa akan datang. Penggunaan bahasa Melayu yang betul tepat dan berkesan akan memudahkan berkomunikasi dalam masyarakat.\nAntara ciri utama pengenalan identiti kaum termasuklah bahasa pertuturan, pakaian, adat resam dan agama yang diamalkan dalam kehidupan mereka. Perlu juga difahami bahawa sosial budaya menerangkan tentang hal yang berkaitan dengan masyarakat. Pemahaman ini juga perlu diterapkan sejak di peringkat sekolah lagi. Melalui amalan budaya dan berbahasa, kita akan teguh bersama dalam menghadapi apa-apa juga cabaran yang mendatang.\nKepelbagaian dalam budaya juga perlu diraikan tetapi mestilah berpaksikan ketaatan dan kecintaan kepada negara, bahasa dengan berlandaskan kefahaman, keadilan, keharmonian, dan saling menghormati. Kepelbagaian juga mestilah berpaksikan semangat perlembagaan yang telah dipersetujui bersama.\nCabaran dalam masyarakat majmuk juga amat banyak dan perlu didepani dan diatasi. Oleh itu, sifat bertolak ansur antara kumpulan kaum sangat dituntut. Pihak kerajaan juga perlu kreatif dalam mencari strategi untuk meningkatkan integrasi kaum di negara ini melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan keilmuan seperti seminar bahasa dan budaya yang merentasi kepelbagaian kaum. Jangan sampai hilang bahasa, lenyaplah bahasa.\nOleh itu, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa komunikasi mesti digunakan dalam apa-apa juga acara dalam kegiatan masyarakat. Bahasa menunjukkan bangsa, iaitu bahasa ialah lambang keperibadian sesuatu masyarakat yang mesti diperjuangkan pada setiap masa." "Duta Bahasa Menjaga Kelestarian Bahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Duta bahasa merupakan istilah yang jarang-jarang didengar kerana kebiasaannya kita hanya mendengar tentang individu yang dilantik menjadi duta bagi produk barangan dan perkhidmatan. Bagi mengulas lebih lanjut hal yang berkaitan dengan duta bahasa, BERNAMA Radio telah menjemput Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad dalam slot Cakna Bahasa, kelolaan penyampainya, Ziana Nasir pada petang tadi.\nMenurut beliau, duta secara umumnya merupakan individu yang memegang peranan yang besar. Berdasarkan Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), duta ialah utusan atau wakil yang dilantik secara sah atau dihantar oleh kerajaan atau pertubuhan ke negara asing. Yang sebenarnya, konsep duta ini telah pun ada pada zaman dahulu yang berpusat di istana tetapi kini berada di Kementerian Luar Negeri. Namun begitu, tanggungjawabnya masih sama. Dalam manuskrip Melayu lama, Kesultanan Melaka telah pun mempunyai utusannya seperti Hang Tuah dan Hang Nadim.\nKata beliau, duta bahasa merupakan individu yang mewakili perilaku dan pertuturan sesuatu bangsa itu. Dalam manuskrip Melayu lama seperti Sastera Kenegaraan, tertera kriteria dalam pemilihan dan pelantikan seseorang utusan. Antara kriteria tersebut termasuklah seseorang itu mestilah berpengetahuan, berketerampilan, berkelakuan baik, amanah dalam menjalankan tugas, fasih dan mempunyai nada yang baik tanpa mengguris perasaan orang yang mendengar atau berlawan cakap dengannya.\nTambah beliau, kriteria untuk menjadi duta bahasa pula ialah seseorang itu mestilah bangga berbahasa Melayu dan menjiwai sastera dan budaya Melayu. Selain itu, seseorang itu mestilah mempunyai keyakinan, bersikap komunikatif dan berketerampilan untuk menyebatikan bahasa dan sastera Melayu dalam masyarakat agar menggunakan dua bidang yang berkolerasi ini dengan tepat dan betul. Individu yang dilantik menjadi duta bahasa mestilah seseorang yang cekap dalam kedua-dua bidang ini. Penilaian dan pemilihan duta bahasa juga seharusnya dilakukan oleh mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang bahasa dan sastera.\nDuta bahasa boleh dikatakan sebagai pempengaruh untuk bercakap dan melontarkan pandangan dari aspek bahasa dan sastera selain berperanan untuk menjaga kelestarian bahasa. Duta bahasa juga perlu melindungi serta mempromosikan bahasa Melayu\u00a0 dan seterusnya mensosialisasikan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam masyarakat.\nKatanya lagi, kerancuan bahasa Melayu terutamanya dalam media sosial pada masa ini sangat membimbangkan. Kerancuan bahasa yang berleluasa dikhuatiri boleh menghilangkan identiti dan jati diri kerana menggunakan bahasa campuran atau istilah lainnya, bahasa rojak. Masyarakat perlu berjiwa besar dan tidak mengagungkan bahasa rancu ini dalam kehidupan.\nJuruhebah dan pengamal media massa sebenarnya mempunyai jasa yang sangat besar dalam memperkasakan bahasa Melayu. Kelompok ini menjadi suri teladan kepada masyarakat dalam penggunaan bahasa Melayu yang betul.\nSebagai contoh, golongan ini juga boleh memantapkan penyampaian masing-masing dengan merapatkan diri dengan pakar-pakar bahasa dan peristilahan dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pengaruh mereka boleh digunakan untuk mempromosikan istilah bahasa Melayu yang baharu agar masyarakat tidak terlalu bergantung kepada perkataan dalam bahasa asing.\nBeliau berkata, bahasa Melayu merupakan jati diri bangsa tetapi masyarakat tidak dihalang untuk belajar dan menguasai bahasa lain selain bahasa Melayu. Namun begitu, kita perlu berbangga akan bahasa kita, iaitu bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan. Usaha mantan Perdana Menteri dalam memperkasakan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa sememangnya baik tetapi pelbagai pihak perlu terlebih dahulu memperkasakan penggunaan bahasa ini di dalam negara.\nUsaha pihak DBP Wilayah Selatan yang menganjurkan pertandingan Pencarian Duta Bahasa pada September lalu dilihat merupakan langkah terbaik dalam mencari legasi penyambung bahasa kebangsaan negara. Semoga usaha tersebut dapat diteruskan dan tidak berhenti setakat pertandingan tersebut sahaja.\nMengakhiri perkongsiannya, beliau berkata, tanpa ilmu hati itu mati. Duta bahasa inilah yang bakal menjadi pemangkin untuk meningkatkan jati diri masyarakat Malaysia terutamanya dalam golongan muda. Beliau turut mencadangkan agar pihak DBP melantik duta muda bahasa kerana legasi inilah yang merupakan individu yang mampu memperjuangkan bahasa Melayu. Masyarakat pula seharusnya berbangga akan bahasa Melayu kerana bahasa Melayu merupakan jati diri bangsa." "Pelan Strategik DBP 2021-2025 Melestarikan Bahasa dan Persuratan Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKUALA LUMPUR \u2013 Hari ini ialah hari yang sangat istimewa bagi seluruh warga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pada hari ini, 65 tahun yang lalu, DBP ditubuhkan. Dalam tempoh tersebut, banyak kejayaan yang telah dicapai oleh DBP pada peringkat nasional dan antarabangsa. Hal ini berkat usaha kerja keras berterusan Ahli Lembaga Pengelola, Pengurusan Tertinggi serta semua kakitangan DBP. DBP turut menggalas tanggungjawab besar untuk memartabatkan bahasa Melayu selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Demikian antara ucapan oleh YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan semasa merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-65 dan pelancaran Pelan Strategik Dewan Bahasa dan Pustaka 2021 \u2013 2025 yang bersiaran secara langsung di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube @DBPMalaysia dan JendelaDBP, pada pukul 9.00 pagi ini.\n\u201cAtas kesedaran ini, DBP mengadakan Pelan Strategik Dewan Bahasa dan Pustaka 2021-2025 yang bertujuan untuk mengindustrikan dan melestarikan bahasa dan persuratan Melayu. Pelan ini memberikan tumpuan kepada tiga teras strategik, iaitu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Bagi menjayakan pelan ini, komitmen, kesungguhan, kesepaduan, ketekunan dan kerjasama semua pihak khususnya Pengurusan Tertinggi dan warga kerja DBP amat diperlukan bagi mencapai sasaran yang ditetapkan,\u201d jelas YB Datuk Dr. Radzi lagi.\nDi samping itu, DBP mengambil pelbagai pendekatan untuk mempromosikan kandungan pustaka warisan seperti pantun, peribahasa dan simpulan bahasa. Antaranya termasuklah penggunaan platform digital yang sesuai dengan perkembangan semasa. Beliau juga yakin bahawa DBP berada di landasan yang betul bagi menghadapi cabaran dunia digital dalam menghasilkan penerbitan yang berkualiti.\nSebelum mengakhiri ucapannya, YB Datuk Dr. Radzi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga kerja DBP atas usaha dan dedikasi sepanjang tempoh 65 tahun ini.\nDalam majlis ini juga YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP dan YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP turut memberikan ucapan. YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang kemudiannya mengakhiri ucapan dengan sebuah sajak yang dinukilkan oleh beliau khas buat DBP." "Didik Bahasa melalui Makanan, Hiburan dan Permainan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSerdang \u2013 Sambutan Putra\u00ae LACD atau Language and Cultural Day anjuran Pusat Pemajuan Kompetensi Bahasa(CALC), Universiti Putra Malaysia (UPM), yang diadakan kelmarin berjaya menonjolkan kepelbagaian kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa kepada umum khususnya kepada siswa di UPM. Berperanan dalam menawarkan kursus Bahasa Melayu dan pelbagai kursus bahasa asing, Bahagian Bahasa Melayu dan Bahasa Global mengambil peluang dan inisiatif dalam menarik minat dan semangat siswa untuk meneroka keupayaan linguistik mereka dalam mempelajari dan menguasai bahasa ketiga.\nMewakili Naib Canselor, UPM bagi majlis perasmian, YBhg. Prof. Dato\u2019 Dr. Abdul Mua\u2019ti @ Zamri Ahmad, iaitu Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat menyatakan bahawa program didik bahasa dan budaya yang bertemakan makanan, hiburan dan permainan ini sangat bertepatan dengan citra masyarakat Malaysia, khususnya masyarakat Melayu yang gemar akan temasya yang melibatkan makanan, hiburan dan permainan.\nYang turut menyampaikan ucapan ialah Puan Iza Dura Abdul Manan, iaitu Pengarah Pusat Pemajuan Kompetensi Bahasa, yang berharap agar program tersebut dapat membangunkan kemahiran insaniah siswa dan memberikan pengalaman dan kenangan unik kepada semua pengunjung. Yang turut hadir ialah YBhg. Profesor Dr. Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor, Universiti Putra Malaysia.\nAntara acara yang berlangsung pada hari tersebut termasuklah pertandingan nyanyian, peragaan pakaian, persembahan kebudayaan, demonstrasi masakan, reruai pameran dan pertandingan pidato bahasa Melayu. Dengan kemeriahan dan jumlah penyertaan yang begitu memberangsangkan, dianggarkan kira-kira 2000 orang pengunjung khususnya siswa UPM tidak melepaskan peluang untuk meneroka ilmu bahasa dan menimba pengalaman dalam program ini.\nMenarik perhatian pada program tersebut ialah reruai pameran bahasa-bahasa asing yang ditawarkan di CALC, UPM. Bukan sahaja mempamerkan keunikan bahasa yang diajar, malah turut memperkenalkan pelbagai aspek kebudayaan termasuklah pakaian, permainan bahasa serta makanan dan minuman.\n\u00a0\nYang menarik mengenai program Putra\u00ae LACD 2022 pada kali ini ialah pertandingan Duta Kelas Bahasa atau yang dinamakan Language Cosplay, yang menerima penyertaan yang sangat memberangsangkan daripada para pelajar dari pelbagai kursus bahasa. Peserta yang menyertai acara ini bukan sahaja memperagakan pakaian, malah berpeluang berkomunikasi dengan para pengunjung untuk mempromosikan dan berkongsi tentang budaya dan bahasa yang mereka pelajari.\nBegitu juga dengan pertandingan The Masked Talent, iaitu pelajar tidak kekok untuk mempersembahkan keunikan lagu bahasa asing yang menarik dan terkini. Banyak peserta yang mendapat tepukan gemuruh dengan kemerduan suara menerusi nyanyian. Ada yang mencuit hati dan ada juga yang mengagumkan penonton dengan kemampuan menyebut perkataan bahasa Melayu dengan betul oleh peserta yang berasal dari negara luar. Tiada yang lama, maka tiadalah yang baharu, tarian tradisi pelbagai kaum juga dipersembahkan keindahannya oleh pelajar UPM.\n\u00a0\nSebagai usaha membangunkan imej siswa yang mapan, pertandingan pidato bahasa Melayu juga telah diadakan. Dua kategori dipertandingkan bagi merebut gelaran juara Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu peringkat UPM. Bagi kategori Alam Melayu dijuarai oleh Zahrah Atthafiya, iaitu pelajar UPM yang berasal dari Indonesia, manakala bagi kategori antarabangsa pula dijuarai oleh Usama Altaf, iaitu pelajar antarabangsa UPM yang berasal dari Pakistan.\nSaban tahun pertandingan ini semakin mendapat sambutan kerana para pelajar tidak mahu melepaskan peluang menunjukkan kemampuan berucap dalam bahasa Melayu termasuklah pelajar antarabangsa yang mewakili negara masing-masing. Tidak kurang juga ada yang menyatakan hasrat untuk melakarkan nama dalam pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri yang akan datang untuk mengharumkan nama universiti dan negara yang diwakili." "Kecintaan terhadap Bahasa Melayu Harus Terus Diperkasa \u2013 Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKecintaan terhadap bahasa Melayu harus terus diperkasa dalam kalangan warga KPT khususnya pelajar-pelajar IPT agar obor bangga dan cinta akan bahasa kebangsaan terus menyala. Saya melihat banyak bakat telah dicungkil dalam acara-acara yang dianjurkan\u00a0 seperti pertandingan Pidato, Nyanyian Lagu Rakyat dan Sahibba serta Poster Kajian dalam bahasa Melayu. Hal ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu berupaya menjadi wadah dalam arena penyelidikan.\nDemikian kata-kata Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato\u2019 Seri Abdul Razak Jaafar ketika merasmikan Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) dan Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu\u00a0 KPT 2022 di Dewan Za\u2019aba, Kementerian Pengajian Tinggi, Putrajaya petang semalam. Dalam ucapannya, Dato\u2019 Seri Abdul Razak turut menyatakan bahawa DBK merupakan satu pelan yang komprehensif untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di Malaysia. Semua usaha yang dilakukan ini adalah untuk memastikan kedudukan bahasa Melayu kukuh di samping meletakkan nilai ilmu dalam bahasa tersebut. Tambah beliau lagi, kementerian sentiasa berusaha memantau dan memainkan peranan dalam memastikan pelibatan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) negara dalam memartabatkan bahasa Melayu.\nKPT sentiasa komited mendorong aspirasi mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu khususnya di institut pendidikan tinggi. Pelbagai inisiatif diadakan seperti kewujudan pusat-pusat pendidikan bahasa Melayu di universiti awam. Antaranya ialah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Akademi Pengajian Melayu (APM) di Universiti Malaya.\nBagi pihak kementerian, saya menyeru agar semua warga pendidikan tinggi bekerjasama khususnya dalam kalangan ilmuan, pakar bahasa, agensi kerajaan dan swasta serta industri bagi memastikan bahasa Melayu muncul sebagai bahasa ilmu seterusnya menjadi bahasa antarabangsa.\nSambutan ini merupakan kemuncak kepada program Dekad Bahasa Kebangsaan yang bertujuan memperkasa bahasa kebangsaan dan meningkatkan semangat kecintaan masyarakat terhadap bahasa kebangsaan. Acara tahunan berprestij, iaitu Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2022 pula dianjurkan bagi mengiktiraf sumbangan individu daripada golongan akademik dalam memartabatkan bahasa Melayu dalam pelbagai disiplin ilmu di peringkat institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), politeknik serta kolej komuniti. Anugerah unggul ini merupakan salah satu inisiatif strategik yang terkandung dalam Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institut Pendidikan Tinggi (IPT) 2016 hingga 2020 di bawah Objektif 1, iaitu \u201cMemartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu\u201d.\nPada tahun ini, Profesor Dr. Mohammad Nazri Mohd Jaafar dari Universiti Teknologi Malaysia telah dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2022 manakala Ts. Dr. Izwah Ismail dari Politeknik Ungku Omar telah dianugerahkan Tokoh Akademik Bahasa Melayu Sektor Teknikal 2022. Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu pula dianugerahkan kepada Profesor Madya Dr. Abdul Halim Abdullah dari Universiti Teknologi Malaysia. Anugerah ini diberikan kepada tokoh yang menggunakan, membangunkan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai wahana aktiviti akademik dalam disiplin ilmu mereka.\nPenerima Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM), Profesor Dr. Mohammad Nazri Mohd Jaafar menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada KPT dan Ahli Jawatankuasa ATABM, di samping penghargaan kepada Universiti Teknologi Malaysia, khususnya Fakulti Kejuruteraan Mekanikal atas ruang yang diberikan untuk memartabatkan bahasa Melayu.\n\u00a0\nSaya percaya penganugerahan ini akan terus mendorong saya untuk terus memartabatkan bahasa Melayu dalam pelbagai kesempatan yang ada walaupun telah bersara kelak. Pada masa hadapan, besarlah harapan saya agar bahasa Melayu akan dapat terus dimartabatkan di peringkat pendidikan tinggi terutama dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, penulisan dan lain-lain, khususnya dalam bidang kejuruteraan.\nDalam majlis ini juga, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Sayembara DBK termasuklah Sayembara Sahibba, Pidato, Nyanyian Lagu Rakyat dan Poster Kajian dalam bahasa Melayu. Yang berikut merupakan senarai pemenang bagi sayembara tersebut mengikut kategori:\nSayembara Sahibba:\nJohan: Nik Zarifahana Mohd Fakri\nNaib Johan: Nor Hafizah Abdul Rahman\nTempat Ketiga: Nur Khairunnisa Abu Hasan\n\u00a0\n\u00a0\nSayembara Pidato:\nJohan: Muhammad Syazwan Sulaiman\nNaib Johan: Muhammad Jihadullah Othman\nTempat Ketiga: Anis Akmal Shabudin\n\u00a0\n\u00a0\nSayembara Nyanyian Lagu Rakyat:\nJohan: Aliff Firdaus Abd Rahman\nNaib Johan: Mohd Hanif Khairuddin\nTempat ketiga: Muhamusyarrifa Hashim\n\u00a0\n\u00a0\nTurut hadir dalam majlis unggul ini ialah\u00a0Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP; Dato\u2019 Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT; Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT; Dr. Haji Mohd Zahari Ismail, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti; naib-naib canselor universiti awam dan pegawai-pegawai kanan kementerian." "Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu KPT 2022 Rai Tokoh Merentas Bidang Akademik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) dan Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2022 berlangsung dengan jayanya di Kementerian Pengajian Tinggi, Putrajaya petang semalam. Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Setiausaha KPT, Dato\u2019 Seri Abdul Razak Jaafar. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Dato\u2019 Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT; Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT; Dr. Haji Mohd Zahari Ismail, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti; naib-naib canselor universiti awam dan pegawai-pegawai kanan kementerian.\nAcara tahunan berprestij, iaitu Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu KPT merupakan anugerah utama yang dianjurkan bagi mengiktiraf sumbangan individu daripada golongan akademik dalam memartabatkan bahasa Melayu dalam pelbagai disiplin ilmu di peringkat institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), politeknik serta kolej komuniti.\nPenganjuran Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM) sejak tahun 2012 telah menyaksikan sebanyak lapan orang penerima anugerah dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Bahasa Melayu. Sebanyak dua kategori anugerah baharu juga telah ditambah pada tahun 2020 bagi memberikan penganugerahan kepada sektor teknikal dan pensyarah muda, iaitu Anugerah Tokoh Harapan Bahasa Melayu dan Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu Sektor Teknikal.\nBagi tahun 2022, penganugerahan ATABM telah mengangkat Profesor Dr. Mohammad Nazri Mohd Jaafar dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2022, manakala Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu Sektor Teknikal 2022 diraih oleh Ts. Dr. Izwah Ismail dari Politeknik Ungku Omar dan Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu pula diberikan kepada Profesor Madya Dr. Abdul Halim Abdullah dari Universiti Teknologi Malaysia.\nMenyorot sedikit latar belakang pemenang utama ATABM 2022, Profesor Dr. Mohammad Nazri Mohd Jaafar merupakan Profesor di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Aeronautik, Automotif dan Samudera, UTM. Beliau yang bakal bersara wajib pada tahun hadapan menyifatkan penganugerahan ini sebagai memori manis yang akan sentiasa dikenang. Menurut beliau, sebagai ahli akademik dalam jurusan kejuruteraan, ada kalanya peluang untuk memartabatkan bahasa Melayu adalah agak terhad terutamanya apabila melibatkan penghasilan karya ilmiah, buku mahupun artikel jurnal.\nNamun demikian, saya amat menggalakkan pelajar-pelajar saya menulis tesis dalam bahasa Melayu, tidak mengira peringkat siswazah mahupun pascasiswazah.\nJika bukan kita yang memulakannya, siapa lagi yang kita harapkan untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Pada pandangan saya, penulisan dalam bahasa Melayu sangat berguna kepada masyarakat, terutamanya kita sebagai ahli akademik perlu menguar-uarkan segala dapatan atau kajian yang telah dibuat melalui buku-buku ilmiah dalam bahasa Melayu. Insya- Allah, bertitik tolak dari kejayaan ini, saya akan meneruskan usaha untuk menggalakkan semua pensyarah di institut pengajian tinggi untuk menghasilkan karya ilmiah dalam bahasa kebangsaan.\nTokoh Akademik Bahasa Melayu Sektor Teknikal 2022, Ts. Dr. Izwah Ismail yang merupakan Timbalan Pengarah Akademik, Politeknik Ungku Omar yang turut terlibat dalam beberapa projek inovasi dan kerjasama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa pula berpandangan bahawa generasi kini kurang membaca buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selain daripada buku teks. Menyingkap pengalaman beliau sendiri, Ts. Dr. Izwah Ismail yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang Kejuruteraan Elektrik menyatakan bahawa beliau membesar dengan buku-buku terbitan DBP yang menggunakan laras bahasa dan tatabahasa yang betul dan dari situlah beliau belajar menghasilkan penulisan yang bagus hasil daripada pembacaan. Oleh itu, beliau menzahirkan harapan agar penekanan kepada budaya membaca dapat dimulakan sejak dari kecil. Dewan Pelajar dan Dewan Siswa antara contoh sumber bacaan yang berkualiti yang boleh digunakan oleh para pelajar untuk membina penguasaan bahasa Melayu. Ujar beliau lagi:\nPenggunaan bahasa Melayu perlu diberikan penekanan sejak dari sekolah rendah dan sekolah menengah lagi. Melalui usaha itu, pelajar bukan sahaja boleh bertutur dalam bahasa Melayu malah berupaya menghasilkan penulisan ilmiah yang bagus dalam bahasa tersebut supaya segala perkara yang kita lakukan dalam bidang teknologi atau teknikal boleh dibukukan dan ditinggalkan untuk generasi seterusnya sebagai rujukan. Apabila kita dapat menghasilkan penulisan yang bagus, kita boleh menterjemahkan buku atau teknologi dari luar negara kepada bahasa Melayu supaya ilmu itu sampai kepada segenap masyarakat dan bukan sahaja kepada golongan tertentu.\nBagi Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu pula, iaitu Profesor Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, minat beliau yang mendalam terhadap bahasa Melayu sejak dari zaman persekolahan lagi diteruskan dalam kerjaya beliau. Tambah beliau lagi, kejayaan ini bukan bersifat sehari dua tetapi sudah tentu memakan masa bertahun-tahun lamanya.\nPenganugerahan ini bukan sahaja melibatkan bidang penerbitan sahaja, malah mengambil kira bidang lain seperti penyeliaan pelajar Doktor Falsafah dan Sarjana, penulisan, penyelidikan, khidmat masyarakat, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan lain-lain. Jadi, sudah tentunya perkara-perkara ini mengambil masa bertahun lamanya.\nBeliau yang merupakan pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selama lebih 10 tahun dengan latar belakang bidang Pendidikan Matematik menyifatkan kejayaan ini sebagai dedikasi untuk isteri, anak kembar beliau, keluarga dan seluruh warga UTM yang banyak menyumbang kepada kejayaan ini secara tidak langsung. Ditebak soalan tentang usaha selepas memperoleh pengiktirafan ini, Profesor Madya Dr. Abdul Halim berkata sudah tentunya beliau akan meneruskan lagi usaha penulisan karya-karya ilmiah dalam bahasa Melayu. Beliau turut menitipkan pesan tentang kepentingan sifat ikhlas yang ditanam dalam diri yang akan mendorong kepada lebih banyak kejayaan pada masa akan datang." "Pemerkasaan Perpaduan melalui Forum Pelajar Sekolah Swasta Cina di Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSibu \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Temenggong Dato Lau Lee Ming, iaitu Pengerusi Persatuan Bersekutu Lembaga Pengurusan Sekolah Cina Swasta Sarawak di pejabat persatuan itu di bandar Sibu.\nDalam kunjungan tersebut, DBPCS diketuai oleh Encik Abang Haliman Haji Abang Julai (Pengarah DBPCS), Encik Ja\u2019afar Haji Hamdan (Timbalan Pengarah Pengembangan Bahasa dan Sastera) dan Cik Stephanie Lenya Chaong (Ketua Unit Promosi dan Pengiktirafan) serta ahli rombongan.\u00a0 Cik Hong Woan Ying, Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Bersekutu Lembaga Pengurusan Sekolah Cina Swasta Sarawak turut hadir dalam majlis tersebut.\nAntara perkara yang disuarakan dalam pertemuan tersebut termasuklah harapan pihak persatuan agar DBPCS dapat meneruskan kerjasama dan membantu persatuan dalam meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam kalangan pelajar Cina melalui penganjuran pelbagai program yang dirangka.\nSelain itu, Temenggong Dato Lau Lee Ming juga berharap agar suatu program yang berobjektifkan perpaduan dapat dianjurkan oleh pihak DBPCS yang melibatkan penyertaan para pelajar sekolah Cina bertaraf swasta mahupun kebangsaan. Program seperti ini dilihat dapat menjadi medium penyatuan serta memupuk semangat toleransi selain memperkenalkan kepelbagaian kaum dan budaya di negeri Sarawak.\nDalam reaksi balasnya, Pengarah DBPCS akan cuba melaksanakan program tersebut pada tahun hadapan dan juga akan mengadakan perbincangan bersama-sama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dalam merealisasikan program tersebut.\nEncik Abang Haliman Abang Julai juga memaklumkan bahawa Bahagian Sibu telah terpilih sebagai tuan rumah bagi pertandingan Forum Pelajar pada tahun hadapan. Beberapa program lain yang akan diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-60 Sarawak dalam Malaysia akan dianjurkan dengan pelibatan sekolah-sekolah swasta Cina seperti program Deklamasi Sajak dan Lagu Rakyat dalam bahasa kebangsaan.\nSelain itu, DBPCS juga berusaha untuk menarik minat golongan belia Cina dalam bidang penulisan dengan mengadakan Bengkel Penulisan bagi menghasilkan karya-karya yang bermutu dalam bahasa kebangsaan. Terdapat juga program baharu dengan pelibatan Jong Chian Lai, Sasterawan Negeri Sarawak yang ke-4 akan dilaksanakan bagi memperkenalkan tokoh penulis Cina yang berwibawa tersebut kepada masyarakat Cina.\nKunjungan ini diharapkan dapat mengeratkan lagi hubungan antara DBPCS dengan pertubuhan yang melibatkan masyarakat Cina di Sarawak. Usaha ini juga diharapkan dapat memberikan manfaat besar dalam memupuk perpaduan dan memartabatkan bahasa kebangsaan pada masa hadapan.\nPersatuan Bersekutu Lembaga Pengurusan Sekolah Cina Swasta Sarawak merupakan sebuah pertubuhan yang mengurus sekolah-sekolah Cina swasta di negeri Sarawak. Persatuan ini sering bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) dalam menjayakan program Pertandingan Forum Pelajar pada setiap tahun." "Penulis Perlu Mematuhi Tatabahasa dalam Penulisan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNilai \u2013 Selain kesantunan, pematuhan terhadap pemakaian bahasa juga sangat diititikberatkan, lebih-lebih lagi dalam landskap dunia penulisan dan penerbitan. Pematuhan terhadap tatabahasa merupakan keutamaan yang perlu dititikberatkan oleh seorang penulis ataupun seorang penutur. Namun berbeza konteksnya apabila menilai bahasa melalui sebuah penulisan dalam displin ilmu seni dan sastera. Penulis diberi kebebasan sepenuhnya di dalam penulisannya walaupun tidak mematuhi hukum tatabahasa. Oleh sebab itulah, wujud cabang ilmu deviasi dalam disiplin stilistik agar tidak wujud kekeliruan dalam pengaplikasian berbahasa sama ada dalam penulisan ataupun pengucapan.\nSehubungan dengan itu, rancangan Bicara Santai Penerbitan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menampilkan seorang wanita hebat, yakni Puan Zainab Said. Beliau juga merupakan seorang Munsyi Dewan Bahasa dan Pustaka. Dalam sesi Bijak Bahasa: Kesalahan Lazim, beliau membuka tirai perkongsiannya dengan memberikan penjelasan yang berkaitan dengan keunggulan yang dimiliki oleh bahasa Melayu.\nBahasa Melayu sangat unik dan dinamik. Maka itu, masyarakat kita kadang-kadang mengatakan bahawa bahasa Melayu ini sangat susah dan kenapa berubah-ubah? Bahasa Melayu ini sebenarnya sedang mengorak langkah dan sememangnya telah diterima dunia kerana bahasa Melayu merupakan lingua franca.\nMenyentuh tentang kepentingan pemakaian bahasa dalam dunia penerbitan, beliau jelas berpendapat bahawa bahasa merupakan cerminan peribadi seseorang dan begitu juga keadaannya ketika berada dalam sesebuah organisasi. Pemilihan dan pemakaian bahasa mencerminkan imej sesebuah organisasi. Oleh sebab itu, pemilihan dan pemakaian bahasa menjadi keutamaan yang perlu dititikberatkan.\nMenurut beliau, pemilihan dan pemakaian bahasa itu merupakan satu bentuk gambaran imej yang sangat tinggi apabila melihat sesuatu penulisan. Hasil penulisan harus dititikberatkan. Kredibiliti seorang penulis, penyunting dan syarikat itu juga sangat penting. Tambah beliau, terdapat empat aspek kesilapan yang sering ditemui dalam sesebuah penulisan, yakni fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik.\nBeliau turut menegaskan bahawa seorang penulis seharusnya bersedia untuk menggalas tanggungjawab terhadap pematuhan berbahasa dalam hasil penulisannya. Bagi beliau, penulis yang prihatin menekuni dan menggalas tanggungjawab tersebut berupaya mengelakkan imej negatif terhadap organisasi yang diwakilinya.\nBeliau turut menyarankan agar rakyat Malaysia terus kekal memartabatkan bahasa Melayu, sekali gus mengalakkan masyarakat khususnya kelompok penulis merujuk bahasa melalui sumber yang berwibawa seperti Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM)." "Mesej Penting melalui Bahasa Tubuh\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bahasa tubuh atau bahasa badan merupakan bahasa bukan lisan yang digunakan untuk berkomunikasi. Hampir 50 peratus hingga 70 peratus daripada komunikasi yang terjalin datangnya daripada bahasa tubuh dan bukannya daripada kata-kata yang diucapkan oleh seseorang. Bagi membincangkan isu ini dengan lebih lanjut, Rancangan Selamat Pagi Malaysia telah mengundang Presiden Persatuan Bahasa Tubuh Malaysia, Tuan Jackson Yogarajah.\nMenurut beliau, istilah bahasa tubuh berasal daripada istilah bahasa Inggeris, iaitu body language. Jika diikutkan, bahasa tubuh tidak mempunyai makna kerana tubuh tidak mempunyai bahasa. Namun begitu, secara umumnya bahasa tubuh membawa maksud komunikasi tanpa lisan.\nAntara bahasa tubuh yang perlu diberi perhatian semasa berkomunikasi ialah mata. Bahasa yang digambarkan melalui mata dapat mempengaruhi pemikiran seseorang sebanyak 75 peratus. Gerakan mata mampu menunjukkan kebenaran sesuatu perkara yang diceritakan. Misalnya, jika seseorang mereka cerita, matanya akan bergerak ke arah kanan manakala jika mata bergerak ke arah kiri, mereka sedang cuba mengumpul memori.\nSelain mata, bahasa tubuh sebenarnya dapat digambarkan melalui beberapa tingkah laku dan gerak-geri seseorang termasuklah ekspresi muka, postur badan, gerak isyarat, pergerakan mata, sentuhan dan penggunaan ruang. Bahasa tubuh ini juga boleh menggambarkan tahap keyakinan seseorang.\nBahasa tubuh amat penting terutamanya dalam proses siasatan. Para penyiasat akan dapat membaca mesej penting melalui bahasa tubuh terutamanya berdasarkan gerakan mata. Mereka akan memerhatikan sama ada percakapan individu yang disiasat tersebut selari dengan bahasa tubuhnya.\nBeliau turut berkongsi buku tulisannya yang bertajuk A to Z About Body Language kepada penonton di hujung sesi perkongsiannya. Bagi masyarakat yang ingin mengetahui dan mendalami berkenaan dengan bahasa tubuh, mereka boleh mendapatkan buku tersebut di pasaran sama ada melalui kedai-kedai buku berhampiran ataupun secara dalam talian." "50 Tahun ATMA Memperkasakan Bahasa dan Tamadun Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Kecemerlangan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) terus diiktiraf apabila kini dalam proses untuk dinaiktarafkan sebagai Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HiCoE). ATMA juga kini sedang dalam usaha untuk menjalinkan kerjasama dengan Jawaharlal Nehru University di India bagi mewujudkan Kursi Pengajian Melayu di institusi berkenaan.\nDemikian antara usaha dan kejayaan yang sedang dan akan dicapai oleh ATMA dalam usaha memperkasakan bidang alam dan tamadun Melayu. Hal ini dinyatakan oleh YBhg. Prof. Dato\u2019 Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin, iaitu Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, UKM, menerusi ucap utamanya pada majlis Syarahan Khas yang berjudul \u201cImbasan dan Hala Tuju ATMA\u201d, oleh SN YBhg. Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh di Bilik Majlis, Bangunan Canselori, UKM, pada pukul 9.30 pagi tadi bersempena dengan sambutan Jubli Emas ATMA Ke-50.\nMenurut beliau, ATMA mempunyai sejarah penubuhan yang panjang dan telah menempuh pelbagai cabaran sehingga berjaya menjadi sebuah institut alam dan tamadun\nMelayu yang tersohor.\nKini ATMA mempunyai empat bidang tujahan utama, iaitu Bahasa, Linguistik dan Persuratan Alam Melayu, Falsafah dan Epistemologi Alam Melayu, Arkeologi, Sejarah dan Budaya Alam Melayu dan Sains dan Teknologi Alam Melayu.\nTambah beliau, keempat-empat tujahan ini memenuhi matlamat utama penubuhan ATMA, iaitu untuk memperkukuh pengajian pemikiran, peradaban dan teknologi Melayu, serta mengantarabangsakan pengajian alam dan tamadun Melayu sebagai penyumbang utama peradaban Asia Tenggara.\nAntara kejayaan ATMA dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu termasuklah mengadakan Kod Amalan Bahasa Melayu di persada antarabangsa (KAMPA), penerbitan jurnal ATMA dari pelbagai negara yang meliputi bidang bahasa, sejarah, arkeologi, budaya, sains dan teknologi Alam Melayu dan Jurnal Alam Sekitar, Sejarah dan Warisan Asia (AJEHH) yang berkaitan dengan hasil penyelidikan yang berkaitan dengan alam sekitar, sejarah, arkeologi, budaya dan warisan di Malaysia dan dunia luar.\nMajlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan (Pengarah ATMA, yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka), SN YBhg. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, para pegawai UKM dan beberapa orang mantan Pengarah ATMA serta para tetamu undangan." "Perbanyak Kajian dan Penterjemahan Karya Lama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013\u00a0Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan Majlis Syarahan Khas bersempena dengan sambutan Jubli Emas ATMA Ke-50 berjudul \u201cImbasan dan Hala Tuju ATMA\u201d yang disampaikan oleh SN YBhg. Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, Mantan Pengarah ATMA ke-2 pada pukul 9.30 pagi tadi bertempat di Bilik Majlis, Bangunan Canselori, UKM.\nMajlis yang turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, iaitu Pengarah ATMA (merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka); Sasterawan Negara (SN), YBhg. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail; pegawai-pegawai kanan UKM; dan para tetamu undangan telah disempurnakan dengan ucap utama yang disampaikan oleh\u00a0YBhg. Prof. Dato\u2019 Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin, iaitu Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, UKM.\nDalam ucapannya, beliau menjelaskan bahawa banyak dalam kalangan ahli masyarakat di negara ini menganggap bahawa Pengajian Melayu pada masa ini sudah tidak begitu penting. Katanya, hal ini berbeza dari sudut pandangan masyarakat luar negara kerana di sana seseorang itu harus menjalani kehidupan bersama-sama bahasa, sains, teknologi dan kebudayaan tanpa apa-apa jurang dalam bidang berkaitan.\nTambah beliau, kesedaran bahasa dan sastera masih tidak tumbuh seperti seharusnya. Hal ini disebabkan oleh kuatnya pengaruh bahasa Inggeris dan berkat usaha kolonialis seperti merahsiakan sastera kita di muzium dan perpustakaan di Britain, di samping pengetahuan kita tentang kejayaan kita yang masih tidak hadir dan tumbuh.\nJelasnya, pada dekad-dekad 1980-an hingga 1990-an, sastera Malaysia mula ditulis secara lebih komited oleh pengarang Sabah dan Sarawak, manakala sastera dalam bahasa kebangsaan sudah menjadi sastera kebangsaan dengan berbagai-bagai pengalaman daripada kaum Murut, Bajau, Bidayuh, Iban, Semai selain Melayu, Cina dan India turut mendapat ruang serta pengiktirafan. Sementara itu, pengarang Cina pula memilih bahasa kebangsaan sebagai bahasa sastera mereka termasuklah Siow Siew Seng, Lim Swee Tin, Akhbar Goh dan Goh Thean Chye.\nBeliau turut berkongsi tentang kehebatan Hikayat Hang Tuah dan berpesar agar kita menghayati karya tersebut kerana Hang Tuah merupakan naratif agung seorang manusia yang mewakili bangsanya yang melukis manusia di laut dan peradaban antarabangsa. Hang Tuah ialah manusia kampung Duyong di Daik dan mahir berbicara dengan berbagai-bagai bahasa dunia. Oleh itu, beliau telah memberikan penekanan tentang peri pentingnya karya lama dikaji dan diterjemahkan untuk manfaat masyarakat.\nBahasa Melayu ialah bahasa besar dunia dan karya besar perlu diterjemahkan secepat mungkin dalam bahasa Melayu. Di samping itu, kita juga perlu menterjemahkan karya-karya lama kita sebanyak mungkin dalam bahasa dunia. Saya sendiri sudah menterjemah Hikayat Hang Tuah dalam bahasa Inggeris yang mengambil masa selama 15 tahun dengan 575 halaman. Sementara itu, Sulalatus Salatin juga telah saya terjemahkan menggunakan bahasa yang agak moden. Hal ini disebabkan banyak anak muda yang sudah tidak memahami bahasa lama atau klasik. Generasi kini harus mengambil peluang untuk mencari pengetahuan dalam bidang pengajian dan falsafah Melayu supaya kita mempunyai pencapaian ilmiah yang lebih luas. Asal usul Sastera Melayu Moden adalah berasal daripada Sastera Melayu Lama.\nKatanya lagi, masyarakat juga perlu melihat Penyata Razak dan Rahman Talib yang menjelaskan tentang usaha menjadikan manusia yang berketerampilan dan memberikan manfaat kepada negara. Semua ini tidak hanya dicapai melalui kemajuan sains dan teknologi semata-mata, tetapi juga boleh dicapai melalui adat, agama, dan sastera yang merangkumi pelbagai bidang termasuklah bidang perubatan, ekonomi, teknologi dan lain-lain.\nSebelum menamatkan sesi syarahan, beliau turut mengutarakan beberapa cadangan kepada ATMA dan tetamu yang hadir seperti yang berikut:" "Majlis Pelancaran Buku Kesantunan Bahasa Etnik-etnik Utama di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013\u00a0Buku Kesantunan Bahasa Etnik-etnik Utama di Malaysia terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ditangani oleh YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, iaitu Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, selaku editornya telah dilancarkan dengan jayanya pada pukul 10.00 pagi tadi di Bilik Majlis, Bangunan Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).\nMajlis pelancaran buku ini diadakan bersempena dengan Syarahan Khas SN Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, iaitu Mantan Pengarah ATMA ke-2, bersempena dengan sambutan Jubli Emas ATMA Ke-50 yang diadakan oleh ATMA, UKM.\nMajlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Dato\u2019 Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin, iaitu Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, UKM, SN YBhg. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, mantan Pengarah ATMA, para pegawai UKM dan para tetamu undangan.\nBuku Kesantunan Bahasa Etnik-etnik Utama di Malaysia ini berteraskan penyelidikan dalam usaha memperkukuh perpaduan pelbagai etnik warganegara Malaysia. Buku ini berfokus pada unsur kesantunan bahasa etnik utama yang meliputi etnik Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazandusun.\nDaripada kajian perbandingan yang dilakukan, terdapat persamaan yang besar dari aspek sistem sapaan dan ungkapan fatis. Paparan perbandingan kesantunan bahasa lima etnik utama ini dapat memperkukuh penghayatan\u00a0segenap lapisan masyarakat\u00a0 tentang kesantunan bahasa yang perlu senantiasa dipupuk untuk menjulang tamadun bangsa dan pembentukan negara bangsa." "Implikasi UEC kepada Dasar Bahasa dan Pendidikan Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMenteri Pendidikan yang baharu, YB Fadhlina Sidek menyatakan bahawa pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) bukan keutamaan Kerajaan Perpaduan pimpinan YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim. Penegasan itu tepat kerana pendidikan negara kita masih banyak diselubungi oleh isu penting seperti mutu pendidikan, keciciran dalam pendidikan, perpaduan, golongan miskin, sekolah daif dan pelbagai masalah lain. Pada hemat saya, bukan sahaja pengiktirafan UEC itu tidak bertaraf \u201cbukan keutamaan\u201d malah tidak relevan sama sekali dengan tujuan memupuk perpaduan dan pelaksanaan sistem pendidikan kebangsaan yang berorientasikan ciri-ciri kenegaraan. UEC berada di luar kerangka ciri kenegaraan.\nSejarah dan latar belakang isu yang berkaitan dengan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersatu (Unified Examination Cerficate) atau singkatnya UCE, yang dituntut oleh Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia perlu difahami. Sijil itu melibatkan 60 buah sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) yang berasingan daripada sekolah menengah jenis kebangsaan Cina (SMJKC). SMPC wujud sebagai kesan penolakan lembaga pengurusnya untuk menerima tawaran kerajaan sebagai sekolah bantuan penuh kerajaan yang disyaratkan agar melaksanakan sistem sekolah menurut kurikulum kebangsaan, menurut Akta Pendidikan 1961 pada waktu itu.\nKewujudan sekolah yang enggan tertakluk kepada kurikulum kebangsaan itu sendiri menimbulkan kesangsian bagaimana sekolah yang berada di luar sistem pendidikan kebangsaan patut diberi layanan dengan mengiktiraf sijil yang dikeluarkannya. Kurikulum asalnya berorientasikan latar di Taiwan, meskipun kini, menurut Dong Zong, telah \u201cdimalaysiakan\u201d. Dalam keadaan kelulusan tertentu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu yang tidak disyaratkan, menjadi pertanyaan apakah yang telah \u201cdimalaysiakan\u201d? Demikian juga, ketiadaan mata pelajaran Sejarah yang berkaitan dengan penghayatan sejarah tanah air Malaysia tidak mewajarkan penerimaan secara mudah bahawa kurikulum SMPC telah \u201cdimalaysiakan\u201d. Bahkan kurikulum yang menjadi kompas sekolah persendirian Cina itu masih menjadi misteri dan sukar diperoleh maklumat rasminya.\nBertitik tolak dengan latar belakang ringkas itu, perhatian penting perlu diberikan kepada falsafah dan matlamat sistem pendidikan negara yang dirancang dan dilaksanakan untuk memenuhi asas kenegaraan, terutama perpaduan kebangsaan dan peningkatan pancang kenegaraan yang menjadi asas jati diri warganegara Malaysia, termasuklah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Sistem pendidikan yang bersifat \u201claissez-faire\u201d dan membenarkan subsistem-subsistem lain tidak akan berjaya memenuhi falsafah dan matlamat kenegaraan.\nPemerintah Malaysia sejak awal kemerdekaan mengamalkan pendekatan yang amat bertolak ansur dan berusaha memenuhi kehendak rakyat berbilang kaum, termasuklah sistem pendidikan. Tidak seperti negara lain seperti Indonesia dan Thailand, pemerintah Malaysia mengizinkan kewujudan sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan Tamil dan juga sekolah menengah jenis kebangsaan Cina. Kewujudan subsistem dalam bentuk sekolah jenis kebangsaan itu sahaja pun telah menimbulkan masalah untuk membentuk jati diri dan citra kewarganegaraan yang padu.\nSesudah lebih 65 tahun negara merdeka, masih timbul masalah ketidakfasihan sejumlah warganegara dalam penguasaan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Dalam pelaksanaan kurikulum pula, masih wujud polarisasi apabila dua sukatan pelajaran berbeza diwujudkan untuk sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan, situasi yang tidak akan mempercepat penyatuan rakyat melalui bahasa kebangsaan. Hal itu turut menimbulkan keanehan kerana ada dua standard bahasa negara, satu untuk pelajar sekolah kebangsaan dan satu lagi untuk sekolah jenis kebangsaan.\nPerlembagaan Persekutuan yang digubal telah memaktubkan asas kenegaraan yang penting, iaitu antara rakyat asal penduduk negara ini dengan rakyat yang berasal dari luar Persekutuan Tanah Melayu. Melalui pelaksanaan jus soli, telah diterima oleh orang Melayu akan kehadiran rakyat dari negara lain, dan sebagai imbangan terhadap kesediaan dan keikhlasan orang Melayu itu, maka ditetapkan beberapa asas kenegaraan yang berteraskan penduduk asal dan majoriti negara. Antara pancang kenegaraan yang penting dalam Perlembagaan Persekutuan termasuklah Kedudukan Raja-raja Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera, dan hak sah rakyat keturunan lain.\nPancang kenegaraan itu dilaksanakan dalam pelbagai sektor di negara ini, termasuklah melalui sistem pendidikan, iaitu sektor yang menjadi acuan pembentukan warganegara yang bercirikan negara Malaysia. Selain ketetapan Penyata Razak bahawa semua aspek pendidikan, iaitu kurikulum, latihan guru, bahan pengajaran dan pembelajaran, dan sistem peperiksaan perlu diseragamkan, aspek bahasa turut dijadikan landasan untuk memenuhi aspirasi negara.\nSebagaimana yang diusulkan dalam Penyata Razak 1956 dan kemudian diperkuat oleh Penyata Rahman Talib 1960 dan dimaktubkan dalam Akta Pendidikan 1961, bahasa Melayu menjadi bahasa penghantar utama sistem pendidikan kerana melalui bahasa yang sama dapat diserapkan nilai-nilai kenegaraan kepada murid dan pendemokrasian pendidikan dapat terlaksana, tidak seperti dalam zaman penjajahan Inggeris yang sistem pendidikannya bersifat mewujudkan polarisasi kaum, termasuklah dalam soal bahasa.\nKita menyaksikan bagaimana peranan dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pendidikan negara mengalami pasang surut apabila ketetapan itu tidak dilaksanakan dengan tegas dan tekal. Zaman pasang bagi peranan dan kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara dapat dilihat pada tahun 1960-an dan 1970-an, khususnya apabila Menteri Pendidikan pada hujung tahun 1960-an, Tun Patinggi Abdul Rahman Yaakub mengusahakan penukaran sekolah aliran Inggeris kepada sekolah aliran kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama secara beransur-ansur. Sementara itu, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil tetap diteruskan.\nSatu detik lagi peningkatan peranan dan kedudukan bahasa Melayu berlaku ketika Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Pendidikan apabila pada tahun 1987 dimulakan Kurikulum Bersepadu yang berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, dengan bahasa Melayu digerakkan agar \u201cmerentas kurikulum\u201d.\nZaman surut bahasa Melayu ditandai oleh pelaksanaan PPSMI, iaitu dasar dan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris pada tahun 2003 hingga tahun 2011. Meskipun pada zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Pendidikan, program itu dimansuhkan dan diganti dengan program Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), nasib bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan digelapkan oleh Program Dwibahasa atau Dual Language Programme yang bersifat ala PPSMI. Meskipun secara rasmi program itu dianggap pilihan sekolah, dalam pelaksanaannya program itu berlangsung dalam bentuk \u201crela dalam paksa\u201d. Maklumat itu diperoleh secara langsung daripada sejumlah pengetua dan guru besar.\nHubung kait antara masalah pemantapan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan negara dengan isu pengiktirafan UEC sangat jelas. Dalam keadaan perjuangan meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pendidikan selaras dengan Dasar \u00a0Bahasa Kebangsaan yang belum mencapai matlamatnya, maka pengiktirafan kepada UEC yang berteraskan pendidikan berbahasa penghantar bahasa Cina menambah duka dalam lara dan menambah barah dalam barah yang sedia ada.\nPada hemat saya, sijil persendirian biarlah berada dalam taraf persendiriannya, apatah lagi sijil itu mewakili hanya sejumlah rakyat, bahkan juga hanya mewakili sejumlah rakyat berketurunan Cina. Anggaran yang pernah dibuat adalah bahawa UEC hanya melibatkan kira-kira 15 peratus pelajar di negara ini. Kemurahan hati pemerintah, seandainya berlaku dengan mengiktiraf UEC akan mengundang pelbagai sijil lain yang dituntut untuk diiktiraf, sehingga akhirnya negara kini kebanjiran pelbagai jenis sijil dan menggerhanakan sijil yang bersifat kebangsaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Bahkan ada dalam kalangan orang Cina sendiri yang tidak menyetujui pengiktirafan UEC, khususnya mereka yang mengatakan lebih \u201csetia kepada negara\u201c kerana menghantar anak ke sekolah kebangsaan. Mereka menganggap bahawa pengiktirafan UEC merampas hak sebahagian daripada mereka yang mengikuti pengajian di sekolah kebangsaan.\nAkhirnya, apa-apa pun keputusan pemerintah, asas terpenting yang mesti difikirkan adalah bahawa negara terbina dan terlestari dengan adanya pancang-pancang kenegaraan. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi menjadi salah satu pancang penting, baik untuk perpaduan mahupun untuk menjadi wahana pentadbiran dan komunikasi dalam bidang lain. Kita perlu mengutamakan rancangan dan pelaksanaan untuk memenuhi semangat Penyata Razak 1956 yang menetapkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama penghantar sistem pendidikan negara. Bahasa lain dirancang dan dilaksanakan pengajaran dan penggunaannya dalam konteks untuk membantu meningkatkan pengutuhan tamadun negara, terutama ilmu tetapi bukan sebagai pengganti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi." "Falsafah Hidup di Sebalik Peribahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPeribahasa Melayu mempunyai falsafah tersendiri di sebalik penciptaannya. Orang Melayu dahulu mencipta peribahasa untuk menasihati generasi Melayu supaya sentiasa beringat, berhati-hati, mengetahui dan berwaspada dengan kehidupan\u00a0 pada masa akan datang. Hal ini dapat dilihat melalui peribahasa, \u201cBeringat-ingat sebelum kena, berjimat sebelum habis\u201d, yang membawa maksud supaya kita sentiasa beringat sebelum terkena sesuatu dan berjimat sebelum sesuatu itu habis terutama yang berkaitan dengan wang.\nFalsafah di sini membawa maksud pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu dalam setiap peribahasa Melayu yang dicipta dan dimanfaatkan dalam kehidupan. Sehubungan dengan itu, orang Melayu yang ahli dalam mencipta peribahasa ini mempunyai daya fikir yang tajam dan bijaksana dengan perenungan jauh terhadap alam sekeliling dan juga kehidupan yang dilalui. Begitulah bijaknya pakar bahasa dalam kalangan orang Melayu yang mencipta peribahasa.\nMenurut Za\u2018ba dalam bukunya, Ilmu Mengarang Melayu, peribahasa ialah susunan cakap yang pendek, yang telah melekat di mulut orang ramai sejak zaman-berzaman. Hal tersebut dikatakan demikian kerana ungkapan ini sedap didengar dan dalam maknanya serta digunakan oleh orang sebagai bandingan, teladan dan bahan pengajaran.\nSusunan kata dalam sesuatu peribahasa dipilih khas, kemas susunannya, ada unsur bunyi yang sama pada akhir kata yang ringkas, mempunyai makna yang tertentu dan mengandungi pengajaran serta falsafah yang mendalam. Kata dan peribahasa ini mempunyai falsafah sebagai pengajaran dan pendidikan kepada semua. Contohnya, peribahasa \u201cCegah sebelum parah\u201d, membawa maksud mengelak sesuatu penyakit berbahaya seperti COVID-19, yang melanda negara dan dunia. Oleh itu, kita hendaklah mencegahnya sebelum penyakit itu menjadi parah dan virus itu merebak.\nPeribahasa merupakan sebahagian daripada khazanah sastera orang Melayu, yang tergolong dalam sastera lisan. Keindahan dan kebijaksanaannya terpakai sekian lama hingga kekal popular pada hari ini. Semua peribahasa ini kini masih lagi digunakan sebagai panduan hidup. Peribahasa Melayu merupakan pancaran kebudayaan dan kehidupan masyarakat lama yang masih bermanfaat kepada masyarakat pada hari ini.\nAsal usul peribahasa juga sebagai sebahagian daripada peri atau cerita dalam sastera rakyat. Peribahasa tidak diketahui penciptanya kerana dalam masyarakat lampau, individu tidak dipentingkan dan sesebuah karya seperti peribahasa yang dicipta akhirnya menjadi hak milik masyarakat sejak dahulu hingga kini.\nLantaran hal itu, Za\u2018ba ada memberikan pandangannya tentang cara terbitnya peribahasa\u00a0dalam kehidupan masyarakat Melayu. Menurutnya, pada mulanya sesuatu ungkapan itu digunakan oleh sesuatu pihak, iaitu sama ada seorang atau sekumpulan. Bentuknya ringkas, tepat dengan maksud yang hendak dicapai dan mengandungi kebenaran serta terbit daripada pengalaman sendiri atau yang telah diperhatikan berlaku pada orang lain.\nKemudian, apabila bentuk itu digemari orang lain, mereka pula menggunakannya secara berulang-ulang dan tersebar daripada seorang kepada orang lain. Akhirnya, bentuk demikian menjadi terkenal dan digunakan pada situasi yang serupa. Di bawah peribahasa, terdapat juga jenis dan sifat perumpamaan, pepatah, bidalan, perbilangan, kata-kata hikmat, simpulan bahasa dan kiasan. Kesemuanya digunakan oleh kelompok atau bangsa Melayu sejak dahulu lagi.\nMenurut Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, dalam Teks Bahasa Melayu, ada dalam kalangan sarjana yang tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa kelompok atau bangsa Melayu berasal dari kawasan Asia Tengah dan telah mengemukakan hipotesis kawasan Nusantara. Berdasarkan hipotesis ini, orang Melayu dikatakan tidak berasal dari luar tetapi mereka dikatakan manusia asal yang memang telah wujud di Nusantara. Oleh itu, orang Melayu merupakan orang tempatan.\nTempat asal bahasa Melayu dikaitkan dengan tempat asal penuturnya, iaitu tempat asal orang Melayu. Terdapat dua hipotesis tentang tempat asal orang Melayu seperti yang diutarakan oleh ahli arkeologi dan ahli linguistik, iaitu kawasan Asia Tengah dan kawasan Nusantara yang memang kaya dengan keindahan alam sekitarnya dengan pelbagai tumbuhan.\nOrang Melayu turut mempunyai pandangan dan falsafah hidupnya sendiri terhadap alam sekitar dan masyarakatnya. Mereka membuka petempatan di Kepulauan Melayu dan terus berkembang di kawasan tersebut seiring dengan bahasa dan pertuturan melalui peribahasa, pantun, perumpamaan dan ada juga yang berkaitan dengan latar tempat mereka tinggal.\n\u00a0\nPeribahasa Melayu turut membuktikan ketinggian falsafah orang Melayu dalam menyampaikan pengajaran, didikan dan bimbingan melalui bahasa yang indah dan mempunyai maksud yang mendalam. Selain itu, peribahasa juga merupakan catatan pengalaman dan sejarah bangsa tentang kehebatan orang Melayu dalam menggunakan bahasa yang berkaitan dengan alam, tempat, haiwan, peristiwa, perkara maujud dan mujarad serta unsur alam yang luas dan kaya dengan keindahan.\nOrang Melayu dahulu sangat saintifik melalui pemerhatian, penelitian dan pengkajian dan menerbitkan peribahasa yang tentunya mengandungi banyak pengajaran. Lantaran hal itu, bidang bahasa sangat penting dijadikan panduan dalam kehidupan. Sumber kehidupan daripada alam dijadikan pedoman dalam kehidupan. Renungi sahaja falsafah dalam peribahasa Melayu ini, iaitu \u201c Membujur lalu, melintang patah\u201d yang bermaksud seseorang yang sanggup menghadapi apa-apa cabaran dan rintangan dalam kehidupan.\nPengertian tersebut daripada orang Melayu dahulu yang tinggal di tepi sungai dan melihat aliran sungai. Di sungai yang deras dan laju itu, ada pohon kayu yang hanyut seperti pohon kayu yang keras seperti keruing, penak atau meranti yang membujur lalu sehingga ada yang melintang sehingga patah. Meskipun patah, dengan kekuatan teras kayu itu dikiaskan sebagai semangat yang terus juga bergerak ke kuala sungai.\nSumbangan tamadun Islam juga menjadi teras kepada tamadun dan falsafah orang Melayu. Peribahasa Melayu banyak berteraskan Islam dan terpancar dalam setiap amalan kehidupan masyarakat Melayu yang menjadi cerminan lahir dan batin dalam kerukunan hidup individu, berkeluarga dan bermasyarakat. Sifat ketinggian ilmu dari segi pemikiran juga ada dalam peribahasa Melayu dengan akal budi, adat dan budaya tinggi. Seperti kata peribahasa Melayu, \u201cJangan bawa resmi jagung, makin berisi makin tegak yang bermaksud semakin kaya semakin sombong\u201d.\nSeperti kata peribahasa Melayu lain, \u201cJangan jadi seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing\u201d pula bermaksud bahawa dalam kehidupan ini mesti ada semangat dan sifat kerjasama dan tolong-menolong dan sentiasa terpelihara dalam keadaan aman dan sentosa dalam masyarakat. Meskipun hidup dalam era teknologi digital, kita tidak seharusnya menolak sifat kerjasama dan tolong-menolong dalam masyarakat.\nOleh itu, masyarakat Melayu pada hari ini terutamanya dalam kalangan generasi muda mestilah melihat dan merenung makna dan falsafah yang tersurat dan tersirat dalam setiap peribahasa Melayu. Meskipun peribahasa dicipta sejak zaman lampau, peribahasa itu masih berguna dan mempunyai falsafahnya hingga zaman teknologi maklumat. Generasi muda juga mesti memanfaatkan kata-kata dan pesanan dalam peribahasa Melayu sebagai panduan dalam kehidupan. Contohnya, \u201cTerlajak perahu boleh undur, terlajak kata buruk padahnya\u201d. Dalam era teknologi digital, kita seharusnya memegang falsafah ini agar sentiasa berhati-hati ketika berkata-kata atau menulis di media baharu dan media sosial. Jika tersilap tulis akan mengundang padah.\nSemua peribahasa Melayu yang dicipta mempunyai kekuatan dan daya intelek Melayu dengan kebijaksanaan minda dan akal budi Melayu. Peribahasa Melayu merangkumi agama, adat, budaya, bahasa, logik, moral serta falsafah dengan pemikiran aras tinggi yang menggunakan bahasa dengan kiasan yang mengandungi pemikiran pada masa silam dan dapat dimanfaatkan pada masa akan datang. Peribahasa Melayu juga menunjukkan kekuatan intelektual dan pemikiran Melayu yang masih mempengaruhi pemikiran dalam kehidupan orang Melayu pada masa kini.\nKesimpulannya, peribahasa Melayu mempunyai bahasa yang indah dengan maksud yang mendalam dan bermakna untuk disampaikan dan ada juga yang diikuti dengan unsur pematah (bagi pepatah) umpama bagi (perumpamaan) bagi maksud tersebut secara tersurat dan tersirat. Peribahasa Melayu ialah ungkapan lama yang penuh dengan falsafah, kebijaksanaan akal budi Melayu yang mempunyai isi dan makna yang luas bagi menggambarkan kebijaksanaan orang zaman dahulu yang berpandangan bernas, mempunyai nilai dan pengajaran, serta pada masa yang sama boleh digunakan sebagai panduan hidup sehingga hari ini." "DBP Memperbanyak Kandungan dan Program Secara Digital\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2212 22 Jun 2021 merupakan tarikh yang sangat istimewa bagi seluruh warga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang meraikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Penubuhan DBP yang Ke-65. Bertemakan \u201cAksara nan Hidup Sepanjang Zaman\u201d, DBP yang muncul sebagai nama dari suatu sejarah terus gah dalam mengharungi cabaran semasa.\n\u201cDalam tempoh lebih enam dekad ini, DBP telah mencapai kejayaan yang membanggakan pada peringkat negara, serantau dan antarabangsa. Kejayaan ini merupakan hasil iltizam dan tekad anggota Lembaga Pengelola, Pengurusan Tertinggi dan semua warga kerja DBP. Di samping itu, \u00a0DBP mampu untuk terus menggalas tanggungjawab sebagai badan yang diberi mandat oleh kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta mengangkat sastera dan ilmu dalam bahasa kebangsaan,\u201d ujar YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.\nMenurutnya lagi, keadaan dunia tanpa sempadan, dasar langit terbuka, globalisasi dan tidak kurang kerapuhan sikap akan makna bahasa dalam pembangunan menjadi antara sebabnya. Usaha DBP memanfaatkan ruang melalui teknologi, seperti memperbanyak program di pelbagai pelantar dan media sosial dapat menghasilkan pemupukan bahasa, sastera dan ilmu dalam kalangan masyarakat, sekali gus dapat mengangkat bahasa dan persuratan Melayu pada peringkat dunia apabila semua program itu dapat sampai kepada warga sedunia. Oleh itu, DBP perlu bergerak dengan lebih luas dan berkesan untuk memenuhi amanah dalam mengangkat bahasa, sastera dan ilmu.\n\u201cTransformasi ke era digital dan elektronik mahu tidak mahu perlu menjadi salah satu asas kaedah DBP bergerak. Dalam keadaan budaya membaca dan memperoleh ilmu serta maklumat masyarakat sudah banyak berubah, segala kandungan bahasa, sastera dan ilmu perlu dengan besar-besaran dipindahkan dalam bentuk digital dan elektronik yang bukan sahaja dapat memenuhi keperluan masyarakat bahkan dapat melebarkan sayap DBP pada peringkat supranasional,\u201d jelasnya lagi.\nSementara itu, dalam ucapan alu-aluan oleh YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP, antara cabaran baharu yang muncul ialah pandemik COVID-19. Sehubungan dengan itu, warga DBP secara beransur-ansur telah beralih kepada kerja pendigitalan dan secara dalam talian. Katanya lagi, DBP mengadakan Pelan Strategik Dewan Bahasa dan Pustaka 2021-2025 yang bertujuan untuk mengindustrikan dan melestarikan bahasa dan persuratan Melayu. Pelan ini memberikan tumpuan kepada tiga teras strategik, iaitu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.\n\u201cTiga perkara penting ini akan DBP laksanakan dalam tempoh lima tahun ini dan hal ini bukan suatu perkara yang baharu bagi DBP. Naratif baharu yang dibawa oleh DBP adalah dengan cara menyebarkan, mengembangkan dan membina bahasa Melayu dengan kaedah baharu, iaitu pendigitalan secara menyeluruh. Hal ini akan melibatkan cara bekerja dan usaha penerbitan DBP tanpa melupai usaha yang telah dilakukan. Contohnya, melalui penerbitan konvensional yang akan terus dilaksanakan dan pendigitalan ini merupakan salah satu usaha untuk kita lebih memantapkan sistem penyampaian pada masa akan datang. Semua ini memerlukan warga DBP bergerak tangkas untuk membina kaedah kerja baharu, untuk berfikir secara lebih kreatif, membina keupayaan diri dan memahirkan diri dengan teknologi baharu bagi memastikan media baharu yang kita gunakan ini dapat digunakan secara berkesan dan optimum. Semoga tahun 2025 nanti bahasa Melayu akan terus menjadi bahasa yang dihormati oleh warga Malaysia dan bahasa Melayu juga terus diperkukuhkan sebagai bahasa ilmu dalam tempoh lima tahun ini,\u201d ujarnya." "Frasa Adjektif \u201cTerkenal Sekali\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nMengapakah frasa adjektif \u201cterkenal sekali\u201c betul, sedangkan frasa \u201ctercantik sekali\u201c salah?\nDaripada:\nNorzita Halimi,\nKuantan, Pahang." "Bahasa Slanga Ahli Politik: Kekreatifan dalam Kecelaruan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSeseorang yang mampu berfikir secara kreatif ialah seseorang yang mampu menggunakan kemahiran dan kecekapan mindanya untuk menilai kewajaran sesuatu idea. Dengan pemikiran kreatif ini juga, seseorang itu mampu mengenal pasti kelebihan dan kelemahan sesuatu perkara. Hasilnya, seseorang yang kreatif mampu mencipta sesuatu bagi mengatasi masalah yang berlaku.\nNamun begitu, kadangkala disebabkan oleh terlalu ingin menonjolkan satu-satu isu, penggunaan struktur bahasa standard yang sepatutnya digunakan dalam situasi formal sering diabaikan. Bagi mengatasinya, sikap ambil peduli diperlukan untuk memantau dan mengubah amalan ini supaya tidak menjadi kebiasaan. Kegagalan berbahasa dengan baiknya menggambarkan pemikiran penutur yang bercelaru terhadap bahasanya sendiri. Hal ini biasa berlaku apabila seseorang itu tidak mengutamakan maksud yang ingin disampaikan, di samping pengabaian terhadap tatabahasa.\nMisalnya dalam arena politik, ahli politik cenderung untuk menonjolkan kejaguhan ketika berkata-kata demi meraih undi. Ahli politik sewenang-wenangnya mencipta slanga yang mempunyai maksud tersurat dan tersirat. Apabila menyampaikan sesuatu maklumat, ahli politik tidak mempertimbangkan keupayaan khalayak untuk mencerap makna sebenar yang ingin disampaikan.\nBerdasarkan Kamus Dewan (1989), bahasa slanga merujuk kata yang bukan daripada golongan bahasa baku dan biasanya digunakan dalam percakapan tidak formal serta tidak boleh digunakan dalam keadaan yang formal. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), percakapan yang tidak formal digunakan oleh ahli parlimen dan calon yang bertanding. Kegagalan sebahagian ahli parlimen sebelum ini untuk menguasai bahasa Melayu dengan fasihnya ketika membahaskan isu yang dibangkitkan di Dewan Rakyat pernah menjadi perdebatan hangat dan dipersoalkan oleh banyak pihak.\nSepanjang tempoh berkempen dalam PRU-15, terdapat slanga baharu yang digunakan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat sememangnya kreatif ketika berbicara. Alasannya adalah untuk mencari publisiti bagi tujuan menarik perhatian dan menonjolkan kelemahan pihak lawan. Misalnya, ada ahli politik yang menggunakan slanga berbentuk sindiran dalam media sosial, seperti \u201ckencing\u201d dan \u201chancing\u201d. Kata-kata ini digunakan untuk menggambarkan penipuan dan kegagalan pihak lawan.\nSelain itu, terdapat juga slanga seperti \u201ckitab suci\u201d, dalam ungkapan, \u201cmanifesto bukan kitab suci\u201d. Komentar terhadap pengisian Bajet 2023 juga tidak terlepas daripada penggunaan slanga. Antaranya termasuklah \u201cgoodies\u201d, \u201ckomprehensif\u201d, dan \u201cbenda bagus\u201d. Usaha kerajaan dalam pembentangan Bajet 2013 pada waktu itu pula digelar sebagai satu \u201ccek kosong\u201d. Penggunaan istilah \u201ckhemah besar\u201d turut kedengaran untuk menggambarkan kerjasama politik semasa PRU-15. Penggunaan slanga juga dapat diperhatikan apabila merujuk orang tertentu, seperti \u201cbossku\u201d.\nSituasi kepimpinan Barisan Nasional (BN) juga tidak terlepas daripada penggunaan slanga. Terdapat pihak yang menggunakan slanga seperti \u201csinga luka berdarah\u201d untuk menunjukkan kepentingan PRU-15 kepada BN supaya dapat mengekalkan mandat daripada rakyat. Penggunaan slanga, \u201charimau cedera\u201d pula digunakan apabila merujuk kekuatan Pakatan Harapan (PH) untuk menamakan calon Perdana Menteri ketika kehilangan sokongan selepas Langkah Shereton 2020. Slanga \u201cmencapatikan janji-janji\u201d turut kedengaran untuk memberikan konotasi negatif dalam pertanyaan, \u201cAdakah rakyat sudah lupa dengan sikap mereka yang \u2018mencapatikan janji-janji\u2019 mereka dahulu?\u201c\nDi samping itu, rakyat turut disajikan dengan slanga, \u201ctekan butang\u201d, seperti yang dapat diperhatikan dalam ayat \u2018\u2018Sebelum parti politik itu \u2018tekan butang\u2019 secara tiba-tiba dan menimbulkan kekalutan, adalah lebih afdal kita \u2018tekan butang\u2019 terlebih dahulu\u201d. Selain itu, usaha yang patut dilaksanakan dapat diperihalkan menerusi penggunaan slanga, \u201cwinning mentality\u201d. Slanga ini dapat ditemukan dalam ayat, \u201cMesti ada kepercayaan diri sendiri, iaitu kita mesti ada \u2018winning mentality\u2019 dan itu sangat penting\u201d. Slanga ini digunakan untuk membuktikan keupayaan parti kepada rakyat supaya dipilih dan diberi kepercayaan untuk mentadbir negara.\nDari aspek pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, terdapat beberapa kerajaan negeri yang pada asalnya menetapkan keputusan untuk tidak membubarkan DUN. Walau bagaimanapun, keputusan ini berubah atas faktor tertentu. Perubahan ini ditonjolkan menerusi penggunaan slanga, \u201cu-turn\u201d.\nSemua situasi yang berlaku ini sememangnya merimaskan ahli bahasa. Menurut Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, penguasaan bahasa Melayu yang baik memberikan kelebihan kepada pemimpin untuk berkomunikasi. Malah yang lebih penting, penguasaan bahasa Melayu membolehkan dasar dan agenda kerajaan dapat disampaikan dengan tepatnya kepada rakyat. Oleh itu, calon yang bertanding dalam pilihan raya perlu menguasai bahasa Melayu dengan sebaik-baiknya supaya penggunaan slanga di Dewan Rakyat tidak berulang lagi.\nTerdapat beberapa pemimpin utama parti politik yang menegaskan bahawa calon yang menguasai bahasa Melayu dengan baiknya sahaja yang sepatutnya dipilih sebagai calon bagi mewakili parti. Penegasan ini turut disokong oleh ahli akademi yang menyatakan bahawa pendekatan tersebut adalah suatu yang tepat. Hal ini dikatakan demikian kerana wakil rakyat hanya dapat berkhidmat dengan lebih efisien apabila menguasai bahasa Melayu. Pada masa yang sama, penggunaan pendekatan ini dapat mengelakkan isu ketidakfahaman bahasa.\nKesimpulannya, istilah slanga yang terhasil seperti \u201ckencing\u201d, \u201chancing\u201d, \u201c kitab suci\u201d, \u201ccek kosong\u201d, \u201ckhemah besar\u201d, \u201csinga luka berdarah\u201d, \u201charimau cedera\u201d, \u201cu-turn\u201d dan \u201cmencapatikan janji-janji\u201d menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sememangnya mempunyai nilai kekreatifan pemikiran yang tinggi untuk merujuk silang sesuatu konteks atau situasi, seterusnya mentakrifkan makna.\nNamun demikian, perkara ini perlu dikawal untuk mengelakkan kecelaruan makna dalam kalangan masyarakat, khususnya ketika membuat penginterpretasian makna terhadap slanga tersebut. Kekaburan konteks dan kesan konteks menyebabkan usaha memproses maklumat menjadi terhad, akhirnya menyebabkan salah faham, salah taksir atau yang paling menyedihkan adalah apabila berisiko menimbulkan perbalahan." "Munsyi Dewan Berperanan Besar dalam Memartabatkan Bahasa, Sastera dan Jawi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Munsyi Dewan berperanan besar dalam usaha untuk memastikan dasar bahasa kebangsaan di negara ini terus berlangsung dengan jayanya. Antaranya termasuklah\u00a0 dalam memupuk penggunaan sistem bahasa yang tepat, cocok, dan sesuai dengan penggunaan tatabahasanya. Demikian antara ucapan YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, ketika merasmikan Majlis Pentauliahan Munsyi Dewan (Bahasa) 2021, 2022 dan Munsyi Dewan (Sastera) 2022 di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Aras 6, Wisma DBP pada petang tadi.\nMajlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan DBP atas kejayaan calon-calon yang terpilih untuk ditauliahkan sebagai Munsyi Dewan (Bahasa) dan Munsyi Dewan (Sastera). Penerima Sijil Pentauliahan terdiri daripada tujuh orang Munsyi Dewan (Sastera) 2022, dua orang Munsyi Dewan (Bahasa) 2022 dan 24 orang Munsyi Dewan (Bahasa ) 2021. Mereka yang terlibat adalah dari pelbagai negeri dan latar belakang pendidikan serta pekerjaan seperti penulis puisi, tenaga pengajar, timbalan dekan universiti, wartawan, staf Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan lain-lain.\nMunsyi Dewan ialah penceramah bahasa Melayu yang dilantik oleh DBP untuk mengendalikan kursus, ceramah dan taklimat bahasa Melayu di sektor awam dan swasta. Peranan ini bermula sejak tahun 1995 dan diteruskan sehingga kini untuk mewujudkan pakar rujuk bahasa Melayu bagi membantu DBP dalam usaha mengembangkan bahasa Melayu. Antaranya termasuklah membantu DBP dalam menjayakan program kebahasaan, kesusasteraan, dan penerbitan pada peringkat daerah, negeri, kementerian, dan jabatan kerajaan serta swasta.\nDalam ucapannya, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berharap agar Munsyi Dewan dapat memberikan komitmen sepenuhnya kepada bahasa, sastera dan Jawi supaya taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dapat dimartabatkan dengan jayanya.\nTambah beliau, semua orang harus menghayati dan melibatkan diri dalam kegiatan sastera termasuklah mengikuti program sastera seperti dalam penulisan puisi, cerpen, drama dan sebagainya. Sastera juga perlu dimasyarakatkan kerana sesuatu masyarakat itu tidak mungkin dapat maju tanpa mengangkat sastera.\nSastera juga merupakan wadah dalam menyebarluaskan ilmu dalam pelbagai bidang. Manakala Jawi pula merupakan akar budaya tamadun Melayu dan juga akar tamadun negara. Tulisan Jawi turut menyumbang dalam pembangunan ekonomi negara.\nSementara itu, penerima Sijil Pentauliahan Munsyi Dewan (Bahasa) 2021, iaitu YBrs. Dr. Akhimullah Abdullah, yang merupakan seorang guru di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bersetuju dengan cadangan YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan supaya kelas bahasa Melayu diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).\nItu satu langkah yang baik untuk memastikan bahasa Melayu dapat dirakyatkan kembali dalam kalangan masyarakat Malaysia termasuklah di peringkat DUN dan Parlimen. Hal ini demikian kerana pada hari ini penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat itu sendiri agak berkurangan disebabkan oleh desakan daripada bahasa-bahasa asing.\nMenurut seorang lagi penerima sijil pentauliahan Munsyi Dewan (Bahasa) 2021, iaitu YBrs. Dr Junaini Kasdan (Ketua Jaminan Kualiti Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia), setiap wakil rakyat perlu mempunyai kemahiran berbahasa Melayu. Hal ini penting bagi memenangi hati masyarakat kerana mereka perlu menggunakan bahasa yang difahami oleh semua golongan termasuklah warga tua, dewasa, remaja dan kanak-kanak. Jelas beliau:\nKadang-kadang kita dapati bahawa ada dalam kalangan mereka yang sebutannya tidak betul atau penulisan dalam bahasa Melayunya salah termasuklah penggunaan tanda baca yang salah.\nSementara itu, menurut YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan, iaitu Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, yang turut menjalankan tugas Ketua Pengarah DBP, dalam ucapan alu-aluannya pula menyatakan bahawa Munsyi Dewan adalah digalakkan untuk menjadi ahli Rakan DBP dengan bayaran keahlian hanya sebanyak RM10 sahaja seumur hidup. Beliau turut mencadangkan supaya Bahagian Akademi DBP mengadakan kembali muzakarah atau konvensyen Munsyi Dewan yang sudah beberapa lama tidak diadakan.\nYang turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa (Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera), ketua-ketua bahagian DBP, para penerima sijil pentauliahan, staf DBP dan para tetamu undangan." "Imbuhan Ke-.-An\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nImbuhan apitan ke-.-an merupakan imbuhan yang dapat ditambah pada pelbagai bentuk kata dasar. Hal ini meliputi kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk dan kata ganda. Dalam hal ini, imbuhan ke-.-an biasanya membawa pengertian \u201chal atau keadaan yang terkandung dalam kata dasar\u201d. Sila lihat contoh yang berikut:\nKata Tunggal\nkesukaan, kejatuhan, kebenaran\n\u00a0\nKata Terbitan (kata dasar yang sedia berimbuhan)\nbeR- keberkesanan\nmeN- kemenjadian\nteR- keterlibatan\njuru- kejurulatihan\ntata- ketatasusilaan\nbi- kebitaraan\n-wan kedermawanan\n-si- kesinambungan\n-er- kecemerlangan\n\u00a0\nKata Majmuk\nsetiausaha kesetiausahaan\nsukarela kesukarelaan\n\u00a0\nKata Ganda\nmalu-malu kemalu-maluan\npura-pura kepura-puraan\n\u00a0\nFrasa\nFrasa Adjektif\ntidak adil ketidakadilan\ntak normal ketaknormalan\nkurang senang kekurangsenangan\n\u00a0\nFrasa Kerja\ntidak hadir ketidakhadiran\nboleh laras kebolehlarasan\nkurang ajar kekurangajaran\nImbuhan ke-.-an\u00a0dapat ditambah pada kata dasar yang meliputi kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n\u00a0\nKata Nama\nkerajaan, kesiangan\n\u00a0\nKata Kerja\nkebangkitan, keterlanjuran, keberkesanan\n\u00a0\nKata Adjektif\nkesalahan, kejelitaan, kesementaraan, keterampilan\n\u00a0\nKata Tugas\nkesudahan, kemestian, keengganan, kesatuan\n\u00a0\nKata terbitan yang berimbuhan ke-.-an\u00a0meliputi pelbagai golongan kata, seperti yang berikut:\n\u00a0\nKata Nama\nKementerian, kediaman\n\u00a0\nKata Kerja\nkehujanan, kecurian\n\u00a0\nKata Adjektif\nkeinggerisan, kesukanan\n\u00a0\nAda kata terbitan berimbuhan ke-.-an\u00a0yang tergolong dalam lebih daripada satu golongan kata. Hal ini bergantung pada konteks penggunaannya dalam ayat yang berkenaan. Sila lihat contoh yang berikut:\n\u00a0\nKata Kerja sebagai\u00a0Kata Dasar\n1a. \u00a0Rumahnya kecurian.\n1b. \u00a0Kecurian\u00a0telah berlaku.\n\u00a0\nKata\u00a0Adjektif sebagai Kata Dasar\n2a. \u00a0Dia ketakutan.\n2b. \u00a0Ketakutannya tidak masuk akal.\n\u00a0\nDalam ayat 1a, kata kecurian\u00a0ialah kata kerja pasif yang membawa maksud \u201cdiceroboh masuk oleh pencuri\u201d, manakala dalam ayat 1b, kata kecurian\u00a0ialah kata nama yang bererti \u201ckehilangan harta benda kerana kena curi\u201d. Dalam ayat 2a, kata ketakutan\u00a0ialah kata kerja pasif yang membawa maksud \u201cdilanda perasaan takut\u201d, manakala dalam ayat 2b, kata ketakutan\u00a0ialah kata nama yang mendukung maksud \u201crasa gentar untuk menghadapi sesuatu yang dianggap membahayakan diri\u201d.\n\u00a0\nAda juga kata terbitan dengan imbuhan ke-.-an\u00a0yang mendukung maksud yang berbeza. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n\u00a0\n3a.\u00a0 Kediaman muridnya merisaukan hatinya.\n3b. \u00a0Kediamannya terletak di pinggir bandar.\n\u00a0\nDalam ayat 3a, kata kediaman\u00a0bererti \u201ckeadaan diam atau tidak bercakap\u201d, manakala dalam ayat 3b, kata kediaman\u00a0bermaksud \u201ctempat tinggal\u201d.\n\u00a0\nKata terbitan yang sedia berimbuhan ke-.-an\u00a0dapat juga menjadi kata dasar bagi kata terbitan lain. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n\u00a0\nKata Dasar Ke-.-an Kata Terbitan\nkedudukan berkedudukan\nkepentingan berkepentingan\nkerajaan berkerajaan\n\u00a0\nSelain itu, kata terbitan dengan imbuhan ke-.-an\u00a0dapat juga bergandingan dengan kata peri\u00a0untuk menghasilkan kata majmuk. \u00a0Sila lihat contoh berikut:\n\u00a0\nKata Terbitan Ke-.-an\u00a0 \u00a0 \u00a0+ Peri\nkebinatangan perikebinatangan\nkemanusiaan perikemanusiaan\nkesopanan peri kesopanan\n\u00a0\nKata terbitan ke-.-an\u00a0dapat juga menghasilkan bentuk kata yang kompleks dengan mekanisme morfologi yang berlapis-lapis. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n\u00a0\nBentuk Asal Unsur Tambahan Bentuk Akhir\nkemanusiaan peri perikemanusiaan\nperikemanusiaan ber- berperikemanusiaan\nberperikemanusiaan tidak tidak berperikemanusiaan\ntidak berperikemanusiaan ke-.-an ketidakberperikemanusiaan\n\u00a0\nKata ketidakberperikemanusiaan sepatutnya ditulis sebagai kata ketidakberperikemanusiaanan\u00a0kerana kata dasarnya ialah tidak berperikemanusiaan dan imbuhannya ialah\u00a0ke-.-an. \u00a0Maksud kata tersebut ialah \u201chal atau keadaan tidak berperikemanusiaan\u201d. Walau bagaimanapun, bentuk -an pada imbuhan ke-.-an telah digugurkan kerana kata kemanusiaan sudah sedia berakhir dengan bentuk -an. \u00a0Hal ini selari dengan kata memberi\u00a0yang menjadi kata memberi\u00a0selepas bentuk -i pada imbuhan mem-.-i\u00a0digugurkan (Tatabahasa Dewan\u00a0Edisi Ketiga, 2015:207). \u00a0Dengan itu, terhasillah kata ketidakberperikemanusiaan yang mengandungi 25 huruf dan 25 bunyi, iaitu antara kata bahasa Melayu yang terpanjang." "Masyarakat Jepun Mempelajari Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kedua\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Bahasa Melayu merupakan bahasa antarabangsa yang turut dipelajari sebagai bahasa kedua oleh masyarakat luar termasuklah masyarakat di Jepun. Sehubungan dengan itu, bagi mengetahui sejarah perkembangan bahasa Melayu di Jepun, Persatuan Pengajian Jepun Malaysia (MAJAS) dan Yayasan Jepun, dengan kerjasama Universiti Malaya dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), menganjurkan Syarahan Umum MAJAS yang bertajuk \u201cSejarah Perkembangan Bahasa Melayu di Jepun\u201c. Syarahan ini disampaikan oleh Profesor Universiti Nanzan, Jepun, iaitu Prof. Dr. Mikihiro Moriyama melalui aplikasi Zoom pada pukul 9.00 pagi tadi.\nMenurut beliau, orang Jepun mula mempelajari bahasa Melayu pada akhir abad ke-19, manakala sekolah yang memulakan pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu dan menerbitkan buku bahasa Melayu pula bermula pada awal abad ke-20.\nBeliau turut mengupas tentang permulaan pembelajaran bahasa Melayu pada peringkat awal, semasa Perang Dunia Kedua dan pembelajaran bahasa asing dan bahasa ibu.\nPermulaan pembelajaran bahasa Melayu di Jepun adalah dengan penerbitan buku percakapan bahasa Melayu pertama yang berjudul Taiyaku Mago Kaiwa Hen, yang disusun oleh Otohiko Takaoka dan buku pelajaran pertama, iaitu Shinpen Marai-go Dokusyu yang disusun oleh Gisaburo Yamamichi pada tahun 1912. Orang Jepun mula mempelajari bahasa Melayu kerana mahu berdagang di daerah selatan.\nMenurutnya lagi, orang Jepun mula belayar ke benua Asia Tenggara khususnya ke Semenanjung Melayu dan Kepulauan Hindia Belanda setelah Pemerintahan Shogun Tokugawa berakhir pada tahun 1968 kerana pemerintah Jepun mula menjadi negara terbuka pada masa tersebut.\nPeningkatan ekonomi antara Jepun dengan negara luar memerlukan masyarakatnya mempelajari pelbagai bahasa termasuklah bahasa Melayu. Pada tahun 1908, pemerintah Jepun membuka Program Intensif Bahasa-bahasa Timur di Akademi Bahasa-bahasa Tokyo. Pada tahun yang sama, Kursus Bahasa Melayu juga dibuka di daerah Tokyo. Akademi bahasa ini akhirnya berkembang menjadi universiti di Jepun.\nTambah beliau, pada tahun 1921, sekolah yang menyediakan pembelajaran bahasa asing termasuklah Program Bahasa Melayu dibuka di Osaka oleh pemerintah Jepun. Semasa zaman tersebut, terdapat dua buah sekolah tinggi di daerah Tokyo dan dua buah sekolah tinggi di Kansai, Osaka, yang menawarkan mata pelajaran Bahasa Melayu dan bahasa Jepun semasa permulaan pembelajaran.\nBahasa Melayu di Semenanjung Melayu diajarkan kepada orang Jepun disebabkan oleh faktor perdagangan dan perniagaan mereka di Semenanjung Melayu. Antara guru yang mengajar subjek Bahasa Melayu di Akademi Bahasa-bahasa Tokyo pada masa tersebut ialah Ibrahim Ahmad, Ahmad Ambac, Bachik Wan Chik, Ibrahim Pachee dan Abdul Rani Haji Abdullah. Antara guru-guru tersebut, Bachik Wan Chik merupakan tokoh yang paling berjasa dalam hal pembelajaran bahasa Melayu di Jepun.\n\u201cPembelajaran Bahasa Melayu semasa Perang Dunia Kedua di Jepun berubah daripada bahasa Melayu Semenanjung kepada bahasa Melayu di Hindia Belanda. Pada tahun 1941 hingga tahun 1945, banyak orang Jepun yang mula mempelajari bahasa Melayu dan didorong oleh keperluan perang yang mendadak,\u201d jelasnya.\nTambahnya lagi, bahasa Melayu dipelajari pada masa tersebut demi kemakmuran Asia Raya dan kejayaan penjajahan Jepun. Semua orang Jepun harus menyumbang demi kemenangan perang dan hubungan antara orang Jepun dengan Asia Tenggara juga telah berubah daripada berkawan kepada penjajahan.\u00a0 Pada masa ini, orang Jepun sendiri mula menjadi tenaga pengajar Bahasa Melayu seperti Sumitaka Asakura.\nTambahnya lagi, setelah berakhirnya Perang Dunia Kedua, pembelajaran bahasa Melayu mengalami zaman suram selama lebih kurang 20 tahun. Keadaan ini juga dapat dilihat dengan jumlah penerbitan pelajaran dan kamus bahasa Melayu yang kurang pada masa itu.\n\u201cBahasa Inggeris menjadi mata pelajaran yang paling penting pada masa ini dan bahasa Eropah yang lain seperti bahasa Perancis, Jerman dan Sepanyol juga diajarkan di peringkat universiti sama seperti bahasa Melayu,\u201d katanya.\nBahasa ibunda atau bahasa pertama sebenarnya merupakan semangat bangsa itu sendiri yang perlu dipelajari secara bersungguh-sungguh dan tidak boleh diabaikan. Bahasa kedua dan ketiga pula boleh dipelajari bagi tujuan komunikasi.\nBeliau turut menyatakan bahawa bahasa menunjukkan bangsa kerana bahasa mempunyai kaitan yang erat dengan identiti dan jati diri bangsa. Masyarakat dan pemerintah Jepun tetap mengutamakan pengajaran bahasa Jepun di samping mengembangkan pengajaran bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris.\nDemikian antara penerangan menarik yang disampaikan oleh Prof. Dr. Mikihiro Moriyama selama lebih kurang sejam. Selain melalui aplikasi zoom, syarahan umum ini juga boleh ditonton melalui Facebook, Asia Timur, https://www.facebook.com/100079955860588/videos/1504751293368212." "Betulkan yang Salah, Biasakan yang Betul\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nApabila kita ke pasar untuk membeli barang keperluan dapur, biasanya kita akan membeli pelbagai jenis barang. Hal ini berlaku demikian kerana setiap ahli keluarga kita sudah tentu mempunyai keperluan dan kehendak yang berbeza. Selain itu, kita harus memastikan keseimbangan khasiat makanan sentiasa menjadi keutamaan.\nSelepas penat membuat pilihan dan pembelian, sudah pasti bakul atau beg kita penuh berisi dengan pelbagai jenis belian. Dari segi sayur-sayuran, kita mungkin sudah membeli sawi, kailan, kacang buncis, kacang bendi, dan yang sebagainya.\nKalau kita renungi sejenak, adakah bentuk kata atau frasa yang betul ialah \u00a0sebagainya\u00a0atau yang sebagainya? Cuba kita analisis ayat ini:\n\u00a0\nAyat Majmuk Gabungan\n\u00a0\nAyat Tunggal\n2a. \u00a0Saya membeli sawi.\n2b. \u00a0Saya membeli kailan.\n2c. \u00a0Saya membeli kacang buncis.\n2d. \u00a0Saya membeli kacang bendi.\n2e. \u00a0*Saya membeli sebagainya.\nApabila ayat majmuk gabungan tersebut (ayat 1) dipisahkan kepada lima buah ayat tunggal (kelompok ayat 2), kita akan nampak bahawa bentuk ayat 2e adalah kurang sempurna. Hal ini dikatakan demikian kerana kata membeli\u00a0merupakan kata kerja transitif, dan harus diikuti oleh objek kata nama atau frasa nama. Namun demikian, dalam ayat 2e, kata sebagainya\u00a0ialah binaan kata sendi nama sebagai\u00a0dengan kata ganti diri pihak ketiga -nya. Maksudnya sama seperti seumpamanya, sepertinya\u00a0dan seperti itu. Bentuk sedemikian hanya dapat menjadi unsur penerang dalam frasa nama (kelompok ayat 3), bukannya frasa nama (kelompok ayat 4). Sila lihat contoh yang berikut:\n\u00a0\n3a. \u00a0Baju sebagainya\u00a0tidak sesuai untuk cuaca kita.\n3b. \u00a0Baju seumpamanya\u00a0tidak sesuai untuk cuaca kita.\n3c. \u00a0Baju sepertinya\u00a0tidak sesuai untuk cuaca kita.\n3d. \u00a0Baju seperti itu\u00a0tidak sesuai untuk cuaca kita.\n\u00a0\n4a. \u00a0*Sebagainya\u00a0tidak sesuai untuk cuaca kita.\n4b. \u00a0*Seumpamanya\u00a0tidak sesuai untuk cuaca kita.\n4c. \u00a0*Sepertinya\u00a0tidak sesuai untuk cuaca kita.\n4d. \u00a0*Seperti itu\u00a0tidak sesuai untuk cuaca kita.\n\u00a0\n5a. \u00a0Yang sebagainya\u00a0tidak sesuai untuk cuaca kita.\n5b. \u00a0Yang seumpamanya\u00a0tidak sesuai untuk cuaca kita.\n5c. \u00a0Yang sepertinya\u00a0tidak sesuai untuk cuaca kita.\n5d. \u00a0Yang seperti itu\u00a0tidak sesuai untuk cuaca kita.\n\u00a0\nDalam kelompok ayat 4, rangkaian kata sebagainya\u00a0bukan frasa nama dan tidak dapat menjadi subjek ayat. Dalam kelompok ayat 5 pula, rangkaian kata yang sebagainya\u00a0merupakan frasa nama yang telah digugurkan inti seperti kata baju. Oleh itu, rangkaian kata yang sebagainya\u00a0dapat menjadi subjek ayat. Hal ini bererti bahawa ayat 1 harus ditulis dengan rangkaian kata yang sebagainya\u00a0supaya binaan ayatnya sempurna. Sila lihat contoh yang berikut:\n\u00a0\n\u00a0\nBagaimanakah pula dengan kata lain-lain? \u00a0Sila lihat contoh ayat yang berikut:\n\u00a0\n\u00a0\nKata lain\u00a0merupakan kata adjektif. Apabila kata adjektif digandakan, golongan katanya masih adjektif, dan bukan kata nama. Sila kita bandingkan ayat yang berikut:\n\u00a0\n8a. \u00a0Saya membeli barang yang murah.\n8b. \u00a0Saya membeli barang yang lain.\n\u00a0\n9a. \u00a0Saya membeli barang yang murah-murah.\n9b. \u00a0Saya membeli barang yang lain-lain.\n\u00a0\nDalam kelompok ayat 8, kata murah\u00a0dan lain\u00a0merupakan kata adjektif yang menghuraikan kata nama barang. Dalam kelompok ayat 9, kata ganda murah-murah\u00a0dan lain-lain\u00a0tetap merupakan kata adjektif, tetapi mendukung maksud jamak. Oleh itu, kata murah-murah\u00a0dan lain-lain\u00a0bukan kata nama.\nDengan hal demikian, kita dapat memisahkan ayat 6 kepada lima buah ayat tunggal, seperti yang berikut:\n\u00a0\n10a. \u00a0Saya membeli daging.\n10b. \u00a0Saya membeli ikan.\n10c. \u00a0Saya membeli sayur.\n10d. \u00a0*Saya membeli lain-lain.\n\u00a0\nSama seperti contoh kata sebagainya, kata lain-lain\u00a0tidak dapat menjadi subjek ayat seperti frasa yang lain-lain. Sila lihat contoh yang berikut:\n\u00a0\n11a. \u00a0*Lain-lain\u00a0dibelinya.\n11b. \u00a0Yang lain-lain\u00a0dibelinya.\n11c. \u00a0Barang yang lain-lain\u00a0dibelinya.\n\u00a0\nOleh sebab kata lain-lain\u00a0bukan kata nama, kata itu tidak dapat menjadi objek yang mengikuti kata kerja transitif. Bentuk yang betul ialah frasa nama yang lain-lain. Oleh itu, ayat 7 harus ditulis semula seperti yang berikut:\n\u00a0\n\u00a0\nSebagai kesimpulannya, walaupun bentuk dan sebagainya, dan bentuk dan lain-lain\u00a0sudah biasa kita gunakan, kita tetap harus beralih kepada bentuk dan yang sebagainya\u00a0dan bentuk yang lain-lain\u00a0agar binaan ayat kita utuh lagi sempurna." "Mampukah Aplikasi TikTok Melahirkan\u00a0Pencinta Bahasa Melayu?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKeghairahan mengejar bahasa asing sudah menjadi suatu perlumbaan bagi generasi kini agar dipandang tinggi oleh masyarakat. Ada segelintir daripadanya merasakan bahawa bahasa asing perlu diberi penekanan berbanding dengan bahasa ibunda negara. Bukanlah untuk menidakkan kepentingan bahasa asing sebagai gedung ilmu tetapi tidakkah dengan perasaan sedemikian seolah-olah kita menghina, mengeji dan mencaci bahasa sendiri?\nJika ditelusuri, kehadiran aplikasi TikTok secara realitinya mampu membawa perubahan yang horizontal dalam aspek meningkatkan nilai bahasa ibunda. Hingga awal tahun 2022, statistik pengguna TikTok yang berumur 18 tahun ke atas di Malaysia telah mencapai 14.59 juta orang pengguna. Data ini menunjukkan bahawa sebanyak 48.23 peratus populasi pengguna media sosial merupakan pengguna aplikasi TikTok.\nJustifikasi pemilihan aplikasi TikTok sebagai medium media sosial ketiga tertinggi di Malaysia atas sebab kemampuan aplikasi ini dalam melonjakkan tontonan atau view sesuatu video menggunakan algoritma sehingga tular. Menyedari hakikat ini, TikTok merupakan aplikasi baharu yang mampu menjadi platform untuk mengangkat bahasa Melayu agar terus dicintai dan diresapi dalam setiap jiwa manusia.\nApakah yang dimaksudkan dengan algoritma TikTok? Secara amnya, algoritma boleh didefinisikan sebagai suatu set arahan atau prosedur dalam menyelesaikan masalah. Dalam konteks media sosial, algoritma digunakan sebagai kayu ukur kekerapan hasil carian setiap pengguna. Sekiranya pengguna tersebut menyukai kandungan video masakan, maka hasil carian yang berikutnya akan serupa secara terus-menerus. Oleh itu, analogi perkara ini digunakan oleh aplikasi TikTok agar kepuasan pengguna mampu ditingkatkan secara drastik.\nImpaknya boleh dilihat dari mata kasar, iaitu para pencipta kandungan video akan memilih aplikasi TikTok untuk memuat naik video mereka agar mudah tular dan mendapat sambutan yang tinggi daripada pengguna lain. Timbul persoalan, adakah dengan kuasa algoritma TikTok ini mampu melahirkan pencinta bahasa Melayu?\nPersepsi masyarakat pada hari ini sebahagiannya tidak endah akan nilai bahasa Melayu. Namun begitu, ada juga yang kuat pedomannya untuk mengangkat semula bahasa Melayu agar dipandang tinggi serta dihormati asal usulnya yang pernah menjadi bahasa kegemilangan dan lingua franca. Contohnya, pencipta kandungan video yang terkenal dengan kepetahan berbahasanya, iaitu Zhiddin Aziz, merupakan seorang pempengaruh yang cekal memartabatkan bahasa Melayu di aplikasi TikTok. Bermula dengan kandungan video perkongsian ceritanya yang memperoleh markah penuh bagi ujian lisan Bahasa Melayu sehingga diheret ke Pejabat Pendidikan Daerah telah menjadi titik mula beliau mendapat pengikut yang sehingga kini mencecah hampir 600 000 orang pengikut.\nKevariasian kandungan idea yang dibawa oleh Zhiddin Aziz dalam mengangkat nilai bahasa Melayu telah banyak menambat hati pengikut daripada pelbagai kaum. Perkara ini sewajarnya dilihat dengan berpaksikan teknologi, iaitu bahasa Melayu akan terus mampu diangkat martabatnya dengan semangat juang yang tinggi oleh penuturnya.\nKenyataan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan wajar diteliti oleh setiap kaum yang berada di negara ini. Individu yang bergelar rakyat Malaysia perlu menyedari bahawa tanggungjawab mempelajari dan fasih bertutur dalam bahasa Melayu harus digalas sepenuhnya. Berada dalam situasi apa-apa pun, rakyat Malaysia harus berbangga bertutur dalam bahasa Melayu. Bukan hanya sekadar mengaku diri sebagai rakyat di negara bertuah ini, namun hakikatnya ada empunya diri yang masih tidak fasih bertutur bahasa Melayu.\nSebagai contoh, isu ini juga sering kali dilihat ketika di pasar tani, iaitu orang Melayu sendiri yang menggunakan bahasa pasar untuk berkomunikasi dengan kaum lain. Misalnya, \u201cUncle, wa mau sayur itu dua ikat\u201d. Komunikasi seperti ini acap kali digunakan sehingga kita tidak sedar bahawa nahu bahasa ibunda kita telah diporak-perandakan. Namun begitu, dengan kehadiran aplikasi TikTok, kita mulai sedar bahawa masih banyak rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik yang mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik berserta tepat nahunya.\nPencipta kandungan video, Dr. Malar atau nama sebenarnya, Malar Santhi Santherasegapan juga merupakan seorang rakyat Malaysia berbangsa India yang bergiat aktif dalam mencipta kandungan video yang berunsurkan hal kesihatan di TikTok. Video beliau memberikan maklumat mengenai tema pakaian Bollywood itu telah mendapat perhatian oleh segenap lapisan masyarakat kerana kekaguman terhadap kepetahannya berbahasa Melayu. Dr. Malar yang kini telah diikuti oleh 200 000 orang pengikut masih aktif menghasilkan video berinformasi dengan menggunakan bahasa Melayu standard.\nTidak ketinggalan juga Wee Yun Nee atau lebih dikenali sebagai Mekyun di TikTok, yang menghasilkan kandungan video yang berkisarkan sudut pandangan daripada pelbagai situasi sambil berceloteh menggunakan dialek Kelantan telah menjadi tumpuan orang ramai. Ada yang mencadangkan agar kedua-dua individu ini diangkat menjadi ikon masyarakat India dan Cina dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.\nBukan untuk menafikan keadaan yang berlaku pada hari ini tetapi rakyat Malaysia itu sendiri yang mewujudkan keterpaksaan dalam mempelajari bahasa Melayu. Tambah-tambah lagi apabila bahasa ini dijadikan subjek wajib dalam peperiksaan dan syarat lulus bagi mendapatkan sijil. Oleh itu, zaman teknologi yang semakin pesat inilah yang telah membantu membuka ruang dan peluang dalam mengobarkan semula kekuatan bahasa Melayu dengan penggunaan media aplikasi TikTok.\nPenggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kini kian terbatas dek halangan daripada ideologi pemikiran kuno yang mengatakan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa yang rendah tarafnya dan tidak setanding dengan bahasa asing lain. Berpijaklah di bumi yang nyata bahawa bahasa inilah yang mampu membentuk sesebuah identiti negara ini. Ironinya ketika pelancong asing datang ke negara ini, adakah wajar kita berkomunikasi menggunakan bahasa asing dengan mereka? Tepuk dada tanyalah isi hati. Sikap yang sedemikian rupalah yang menyebabkan bahasa Melayu semakin ditindas dan diabaikan penggunaanya dalam komunikasi harian. Ada yang berbangga menggunakan bahasa lain seolah-olah bahasa ibunda sendiri seperti tiada nilai. Inikah yang dikatakan kesanggupan dalam membela maruah bahasa ibunda? Realiti ini sungguh menyakitkan.\nSelain itu, pemuda tampan yang dikenali sebagai Kouji merupakan pencipta kandungan video TikTok yang berasal dari Jepun dan fasih berbahasa Melayu dalam setiap kandungan videonya. Yang menariknya, kandungan idea yang dibawa oleh Kouji berteraskan makanan di Malaysia. Jumlah pengikutnya yang hampir mencecah 400 000 orang menjadikan setiap video Kouji mendapat sambutan yang hangat dan mudah tular dalam \u201cFor your page\u201d TikTok. Celotehnya yang mengkritik makanan di Malaysia menggunakan bahasa Melayu telah menarik tumpuan orang ramai untuk memberikan tanda suka pada setiap kandungan videonya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa individu yang bukannya penutur jati bahasa Melayu sendiri sangat berbangga dan mampu bertutur dalam bahasa Melayu.\nKita yang sebagai penutur jati bahasa ini sudah semestinya berkali-kali berasa megah dan bangga akan kekuatan bahasa Melayu. Kefasihan Kouji berbahasa Melayu telah membuka mata banyak pihak bahawa bahasa Melayu mempunyai nilai yang sangat tinggi dalam melahirkan identiti bangsa. Bahkan, semakin banyak orang asing yang akan berminat untuk mempelajari bahasa Melayu dan sekali gus mampu menjadikan bahasa ini bersifat universal.\nKata orang, \u201cTak kenal maka tak cinta, bila dah kenal terjatuh lalu tercinta\u201c. Mempelajari bahasa dan mengangkat sesuatu nilai bahasa mudah untuk dilaksanakan apabila diri mempunyai kesetiaan dan kecintaan yang tinggi terhadap bahasa. Peredaran dunia yang semakin maju berpaksikan teknologi telah menjadi cabaran utama dalam memartabatkan bahasa ibunda negara ini. Namun jika pandai mencari ruang, kepesatan teknologi inilah menjadi peluang mengangkat nilai bahasa Melayu, seterusnya mampu memartabatkannya dan melahirkan para pencinta bahasa. Bahasa Melayu merupakan aset negara yang perlu dijaga rapi agar tidak lapuk ditelan zaman. Hilangnya bahasa Melayu, maka hilanglah jati diri bangsa. Maka itu, apakah makna sebuah bangsa jika tiada bahasa yang menjadi identiti keagungan?\nRealiti penggunaan TikTok pada hari ini adalah untuk penyebaran informasi secara pantas, perniagaan serta hiburan. Jika ditelusuri aplikasi ini secara mendalam, banyak manfaat yang boleh dikecapi dalam hal yang melibatkan peningkatan nilai bahasa Melayu. Banyak golongan pempengaruh yang mula sedar bahawa medium inilah yang wajar dijadikan pilihan untuk menyebarluaskan kepentingan bahasa Melayu serta mengangkat semula martabat bahasa Melayu untuk dijulang dengan lebih tinggi. Pemerkasaan bahasa Melayu terutamanya oleh golongan generasi Z di aplikasi TikTok harus diberi perhatian kerana golongan inilah yang bakal menjadi pelapis legasi pencinta bahasa Melayu yang seterusnya agar tidak tenggelam oleh ideologi pemikiran kuno yang mengatakan betapa rendahnya martabat bahasa Melayu." "Peribahasa Melayu Mendidik Lidah yang Tidak Bertulang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSelamat menyambut tahun baharu 2023. Kita sudah melalui tahun 2022 dengan seribu pengalaman yang manis mahupun pahit, tetapi perjuangan memperkasakan\u00a0bahasa Melayu tidak pernah usai dan tetap teguh melangkah. Sudah tentu pada tahun baharu ini, setiap daripada kita akan mempunyai senarai azam yang ingin dicapai. Penulis juga mengharapkan agar perkongsian di Cetusan Minda sepanjang tahun 2022 memberikan\u00a0manfaat kepada semua khususnya untuk pembangunan minda, emosi dan rohani.\nPada kali ini, penulis memulakan penulisan dengan perkongsian tentang peribahasa Melayu sebagai objek utama perbincangan. Mengapakah peribahasa? Hal ini kerana peribahasa merupakan gedung penciptaan dan penggayaan bahasa yang produktif dan tidak berputusan hingga kini ibarat pepatah, \u201cTak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas\u201d.\u00a0\u00a0Satu perkara penting yang perlu diketahui ialah peribahasa Melayu telah diangkat sebagai Warisan Budaya Tak ketara Negara pada tahun 2015 (https://www.heritage.gov.my/index.php/objek/objek-warisan-tidak-ketara),\u00a0sekali gus pada masa yang sama turut mengangkat martabat bahasa Melayu.\nPeribahasa Melayu merangkumi simpulan bahasa, bidalan, perbilangan dan perumpamaan. Menurut Izani Daud (2001), peribahasa adalah suatu gambaran secara berkias dan berseni yang digunakan untuk mendidik masyarakat manakala Za\u02bbba (2002) pula menyatakan bahawa peribahasa ialah segala susunan cakap pendek yang telah melekat di mulut orang ramai semenjak beberapa lama oleh sebab sedap dan bijak perkataannya.\nBerkesinambungan daripada pendapat di atas, kata kunci utama yang menggambarkan peribahasa Melayu ialah berkias, berseni, sedap dan bijak. Jika dirangkumi semua kata kunci ini dapat menunjukkan bahawa pemilihan diksi pada peribahasa Melayu dilakukan dengan cermat, kreatif, dan serasi pada ujaran pengucap dan mudah diterima oleh halwa telinga pendengar. Perkataan yang dipilih mewakili kehalusa dan kesopanan tetapi ada unsur ketegasan bagi memperlihatkan variasi landskap bahasa Melayu yang seiring dengan pemikiran masyarakat pendukungnya.\nAbdullah Hassan (1993) pula menyatakan bahawa peribahasa ialah sejenis bahasa kiasan. Hal ini mengesahkan bahawa sifat penyampaiannya berlapik-lapik ataupun tersirat. Penggunaan unsur flora seperti pokok dan daun, fauna seperti ikan, dan ayam, dan cakerawala seperti bulan dan matahari adalah sebagai perlambangan dan penggantian sikap berterus terang untuk berinteraksi erat dengan masyarakat. Misalnya, \u201cBaik membawa resmi ayam betina supaya tidak ada bencana\u201d yang membawa maksud jika mengamalkan sikap rendah hati akan membawa pada kebaikan diri.\nPengadunan unsur ini turut diseimbangkan dengan keberagaman istilah bagi memperlihatkan elemen ketenteraman emosi dan kematangan akal yang dibina oleh penciptanya untuk menyampaikan sesuatu maksud. Kepekaan ini bertujuan agar peribahasa Melayu mudah menelusuri masuk sebagai model panduan kehidupan masyarakat. Hal ini kerana tujuan utama peribahasa Melayu adalah untuk mendidik masyarakat dengan menyisipkan teguran, nasihat dan sindiran. Hal ini dilakukan dengan cara berhemah bagi memastikan ungkapan yang diujarkan tidak sampai menjatuhkan air muka dan menimbulkan kebencian kepada orang lain. Justeru itu, inti makna peribahasa perlu difahami dengan teliti agar tidak mendatangkan kemudaratan kepada pihak yang dituju seperti \u201cSiapa makan cili, dialah berasa pedas\u201d.\nKeestetikaan peribahasa Melayu yang terletak pada penyusunan bahasanya menjadi lebih bermakna kerana dihadirkan dengan tema yang pelbagai. Terdapat tema khusus buat ibu bapa yang menjadi tiang pembangunan sahsiah dan gedung ilmu bagi anak-anak. Contohnya, \u201cBagai menatang minyak yang penuh\u201d, \u201cBapa borek anak rintik\u201d, dan \u201cKe mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi\u201d, yang mengutarakan persoalan curahan kasih sayang yang perlu berpada-pada dalam mendidik anak dan ibu bapa juga dituntut menjadi suri teladan terbaik.\nDi samping itu, \u00a0\u201cTuah yang disembah, junjung yang dipanjat\u201d, \u201cDianjung seperti payung, diambak seperti kasur\u201d dan \u201cMatahari itu, gunung dan lembah sama diterangi\u201d ditujukan kepada seorang pemimpin yang adil dalam melaksanakan tanggungjawab sementara peribahasa Melayu yang berbunyi \u201cRaja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah\u201d pula ditujukan khas kepada pemimpin yang zalim.\nTidak ketinggalan juga, peribahasa Melayu yang ditujukan kepada para gadis sebagai kawalan sosial. Misalnya, \u201cTakkanlah perigi yang mencari timba\u201d dan \u201cDarah manis\u201d. Selain itu, terdapat juga peribahasa Melayu yang digunakan untuk golongan pelajar dan juga golongan usahawan sebagai meningkatkan motivasi seperti \u201cBara yang digenggam biar sampai jadi arang\u201d dan \u201cKalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya\u201d. Manakala tema yang bersifat umum adalah seperti \u201cMalu bertanya sesat jalan\u201d, \u201cSediakan payung sebelum hujan\u201d, \u201cKerana mulut badan binasa\u201d, dan \u201cBulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat\u201d.\nApakah peribahasa Melayu masih relevan digunakan pada masa ini? Jika disoroti kehidupan sofistikated masyarakat dan percampuran dengan pelbagai bangsa dari luar negara sedikit banyak telah mengubah corak bahasa dan budaya Melayu yang menyebabkan sikap berterus terang lebih penting daripada menjaga perasaan orang lain. Alasan yang diwajarkan dengan situasi ini ialah jika menggunakan perkataan berlapik akan sukar difahami, membuang masa dan terpaksa memerah otak, memikirkan mesej yang disampaikan.\nFalsafah \u201cJangan mudah terasa hati\u201d menjadi keutamaan sedangkan perkataan yang diujarkan telah mencalarbalarkan hati pendengar dan dikhuatiri akan membawa malapetaka kepada pembicara. Memang benar, lidah tidak bertulang tetapi pencipta peribahasa Melayu sudah memberikan teguran awal dengan mengutarakan frasa \u201cKerana mulut badan binasa\u201d yang menekankan pengawasan pertuturan semasa berbicara.\nSelain itu, peribahasa Melayu kini juga dilihat bersifat eksklusif apabila penggunaannya terhad pada sesuatu majlis keramaian dan juga digunakan semasa membuat karangan bahasa Melayu. Timbul persoalan di sini, adakah takat itu sahaja kelebihan peribahasa Melayu yang diperoleh pada masa ini? Hal ini perlu dibahaskan\u00a0dengan\u00a0lebih mendalam dengan menganjurkan program seperti perdebatan terbuka untuk mengetahui kedudukan peribahasa Melayu sebagai warisan bahasa.\nPeribahasa Melayu yang dijelmakan menerusi pemerhatian dan pengalaman terhadap persekitaran tidak perlu disekat perkembangannya kerana membentangkan kebenaran kehidupan. Bahasa yang digunakan sebagai kritikan sosial adalah untuk memberikan\u00a0peringatan agar tidak \u201cTerhantuk baru terngadah\u201d,\u00a0iaitu setelah mendapat kesukaran atau kepayahan baru hendak beringat.\nWalau bagaimanapun, usaha terus-menerus yang dilakukan oleh penyelidik dan pendidik dalam memberikan pemahaman secara komprehensif tentang peribahasa Melayu harus diberi pujian. Pelbagai inovasi berbentuk teknologi juga telah dicipta seperti Kamus Peribahasa Melayu Digital oleh Universiti Kebangsaan Malaysia, sIMBAS (Imbas Simpulan Bahasa) yang diusahakan oleh Institut Pendidikan Guru Kampus Dato\u2019 Razali Ismail dan DeSiR\u00a0(De (Definisi), Si (Situasi) dan R (Rasional)) oleh Cikgu\u00a0Haslindar Nor Ismail,\u00a0di samping bahan bercetak seperti Haiwan dalam Peribahasa Melayu, dan Kamus Peribahasa Melayu\u2013Mandarin, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.\nRuangan khas melalui program di radio ataupun rancangan \u201cBicara Peribahasa Melayu\u201d\u00a0perlu diadakan di institusi yang dipertanggungjawabkan agar peribahasa Melayu dapat dihayati oleh generasi kini dan pada\u00a0masa yang sama dapat \u00a0membetulkan permainan bahasa canggung oleh generasi muda yang kreatif seperti \u201cDi mana ada kemahuan, di situ ada\u00a0highway\u201d atau\u00a0\u201cHarapkan pagar, pagar tak boleh diharap\u201d\u00a0kepada\u00a0peribahasa Melayu yang lazim diujarkan,\u00a0iaitu \u201cDi mana ada kemahuan, di situ ada jalan\u201d,\u00a0dan \u201cHarapkan pagar,\u00a0pagar makan padi\u201d.\nSelain itu, bengkel dan pertandingan mencipta peribahasa Melayu\u00a0juga\u00a0perlu diadakan untuk mempertingkat\u00a0penguasaan perbendaharaan kata dan maknanya. Dengan usaha kecil ini diharapkan agar wacana kebahasaan yang penuh keindahan ini terus terpelihara dan menjadi rujukan untuk mendidik diri dan masyarakat.\n\u201cKalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.\u201d\n\u00a0\n\u00a0\nProfesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad \u2212 Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, yang juga Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan." "Penggandaan Kata Nama Majmuk\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata majmuk ialah rangkaian dua kata atau lebih yang mendukung makna yang khusus atau tersendiri. Hal ini bererti bahawa kata majmuk mempunyai kesatuan (unity) yang utuh, dan biasanya tidak boleh diselangi oleh kata hubung seperti yang, dan, \u00a0dan atau. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n1a. \u00a0Bunga teratai itu cantik.\n1b. \u00a0Bunga (yang) merah itu cantik.\n\u00a0\n2a. \u00a0Dia membeli kerusi urut.\n2b. \u00a0Dia membeli kerusi (dan) meja.\n\u00a0\n3a. \u00a0Hutan dara tidak harus kita usik.\n3b. \u00a0Dia meneroka hutan (atau) rimba.\n\u00a0\nDalam ayat 1a, 2a dan 3a, kata majmuk bunga teratai, kerusi urut\u00a0dan hutan dara merupakan kata majmuk kerana mendukung maksud khusus. Dalam ayat 1b, 2b dan 3b pula, rangkaian kata bunga merah, kerusi meja\u00a0dan hutan rimba\u00a0merupakan frasa kerana kata hubung yang, dan, atau atau\u00a0boleh diselitkan di antara unsurnya tanpa menjejaskan maksud frasa itu.\nKata majmuk dengan struktur binaan kata nama + kata adjektif tidak boleh diselitkan dengan kata hubung yang. Ada juga kata majmuk yang akan bertukar untuk menjadi frasa jika diselitkan dengan kata hubung yang. Sila lihat contoh yang berikut:\n4a. \u00a0Dia membeli kerusi malas.\n4b. \u00a0*Dia membeli kerusi yang malas.\n\u00a0\n5a. \u00a0Kereta kebal itu digeruni musuh.\n5b. \u00a0Kereta yang kebal itu menjadi rebutan ramai.\n\u00a0\n6a. \u00a0Orang tua Ali sakit.\n6b. \u00a0Orang (yang) tua itu sakit.\n\u00a0\nDalam ayat 4a, kerusi malas\u00a0(easy chair) ialah kata majmuk dan tidak boleh diselitkan dengan kata hubung yang, seperti dalam ayat 4b. Dalam kelompok ayat 5, kata majmuk kereta kebal\u00a0(tank) dalam ayat 5a akan menjadi frasa jika diselitkan dengan kata hubung yang, seperti dalam ayat 5b. \u00a0Dalam ayat 6a, kata majmuk orang tua\u00a0(parents) bererti \u201cibu bapa\u201d, tetapi dalam ayat 6b, orang (yang) tua itu\u00a0ialah frasa.\nBagaimanakah kata majmuk dapat digandakan? Apakah pertimbangan yang harus kita ambil kira? Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n7a. \u00a0Setiausaha-setiausaha yang baharu telah dilantik.\n7b. \u00a0Suruhanjaya-suruhanjaya telah ditubuhkan.\n7c. \u00a0Jawatankuasa-jawatankuasa itu mula bermesyuarat.\n7d. \u00a0Tandatangan-tandatangan tertulis dengan jelas.\n\u00a0\n8a. \u00a0*Kerjasama-kerjasama rakyat sangat diperlukan.\n8b. \u00a0*Tanggungjawab-tanggungjawabnya berat.\n8c. \u00a0*Warganegara-warganegara Malaysia harus bersatu.\n8d. \u00a0\u201cBumiputera-bumiputera semakin maju.\n\u00a0\nDalam kelompok ayat 7, kata majmuk serangkai setiausaha, suruhanjaya, jawatankuasa\u00a0dan tandatangan\u00a0boleh digandakan kerana merupakan pihak atau perkara yang dapat dibilang (countable). Dalam ayat 8a dan 8b, kata majmuk kerjasama\u00a0dan tanggungjawab\u00a0tidak boleh digandakan kerana merupakan kata nama abstrak tidak berbilang. Dalam ayat 8c dan 8d, kata majmuk warganegara\u00a0dan bumiputera\u00a0tidak boleh digandakan kerana merupakan kata nama kolektif atau kelompok.\nAda kalanya penggandaan kata majmuk bergantung pada konteks penggunaan. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n9a. \u00a0Matahari memanaskan muka bumi.\n9b. \u00a0Matahari-matahari itu bersinar dengan garangnya.\n\u00a0\nDalam ayat 9a, kata majmuk matahari\u00a0tidak boleh digandakan kerana dalam sistem suria kita, hanya terdapat satu matahari. Walau bagaimanapun, kata \u00a0majmuk matahari\u00a0dalam ayat 9b boleh digandakan bagi sistem suria lain yang mempunyai lebih daripada satu matahari.\nBentuk ganda bagi kata majmuk rangkaian kata bebas dan kata majmuk kiasan menampakkan kelainan. Sila lihat contoh yang berikut:\n10a. \u00a0Anak-anak ayam itu merebut makanan.\n10b. \u00a0*Anak ayam-anak ayam itu berebut makanan.\n\u00a0\n11a. \u00a0Kaki botol-kaki botol itu tidur di kaki lima.\n11b. \u00a0*Kaki-kaki botol itu tidur di kaki lima.\n\u00a0\nBagi kelompok ayat 10, kata majmuk rangkaian kata bebas anak ayam\u00a0yang berganda ialah anak-anak ayam, iaitu ada sempang yang menghubungkan kata anak, sebagai intinya. Dalam kelompok ayat 11, kata majmuk kiasan atau simpulan bahasa kaki botol\u00a0bererti \u201corang yang suka minum minuman keras\u201d. Oleh itu, tanda sempang harus diletakkan di antara kata majmuk kaki botol, bukan di antara kata kaki.\nBagi kata majmuk yang unsur-unsurnya tidak disusun mengikut hukum D-M (unsur yang diterangkan mendahului unsur yang menerangkannya), seluruh kata majmuk harus digandakan. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n12a. \u00a0*Ibu-ibu pejabat kerajaan negeri itu sudah dipindahkan.\n12b. \u00a0Ibu pejabat-ibu pejabat kerajaan negeri sudah dipindahkan.\n12c. \u00a0Ibu pejabat kerajaan negeri sudah dipindahkan.\n12d. \u00a0Semua/Banyak ibu pejabat kerajaan negeri sudah dipindahkan.\n\u00a0\nKata majmuk ibu pejabat\u00a0disusun dengan meletakkan kata penerang ibu\u00a0yang bererti \u201cutama\u201d di hadapan kata inti pejabat. Oleh itu, seluruh kata majmuk itu harus digandakan. Pilihan lain ialah kita menggunakan kata majmuk ibu pejabat\u00a0(ayat 12c), kerana kata majmuk itu dapat juga mendukung maksud jamak. Satu lagi pilihan ialah kita menggunakan kata bilangan tak tentu seperti semua\u00a0atau banyak\u00a0(ayat 12d).\nBagi kata nama majmuk yang berpangkalkan kata kerja, seluruh kata majmuk harus digandakan. Sila lihat contoh yang berikut:\n13a. \u00a0*Temu-temu ramah telah diadakan.\n13b. \u00a0Temu ramah-temu ramah telah diadakan.\n\u00a0\n14a. \u00a0*Ulang-ulang kaji akan dibuatnya.\n14b. \u00a0Ulang kaji-ulang kaji akan dibuatnya.\n\u00a0\nDalam kelompok ayat 13 dan 14, semua unsur dalam kata nama majmuk temu ramah\u00a0dan ulang kaji\u00a0membentuk entiti kesatuan yang utuh dan harus digandakan bersama-sama." "Johan Pertandingan Teater Bahasa Melayu SJKC Milik SJKC Jalan Davidson\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson, Kuala Lumpur muncul juara setelah memenangi Anugerah Citra Cemerlang dalam Pertandingan Teater Bahasa Melayu peringkat SJKC pada hari ini. Pasukan tersebut telah membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2000, pingat, sijil penyertaan dan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nMajlis penyampaian hadiah tersebut telah disempurnakan oleh YB Puan Lim Hui Ying, iaitu Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia dalam Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Teater Bahasa Melayu SJKC, di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP. Majlis tersebut merupakan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan Han Malaysia (HAN) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).\nKemenangan tersebut secara tidak langsung memberikan semangat baharu buat pasukan SJKC Jalan Davidson. Menurut mereka, usaha yang dicurahkan oleh ahli pasukan selama ini yang tanpa jemu berlatih telah berjaya membuahkan hasil.\u00a0\nKami mengambil masa selama dua bulan untuk berlatih dan turut mengalami kekangan masa kerana terpaksa berlatih selepas waktu persekolahan. Kami juga berasa agak sukar untuk menyebut sesetengah perkataan dalam bahasa Melayu dengan intonasi yang betul, namun kami terus berlatih. Akhirnya, usaha ini memberikan kemenangan kepada pasukan kami dan kami berasa seronok kerana dapat menjadi juara dalam pertandingan ini.\nPada majlis yang sama, beberapa anugerah lain juga telah disampaikan oleh YB Puan Lim Hui Ying kepada para pemenang. Yang pertama ialah Anugerah Citra Semarak Seni yang disandang oleh SJKC Union, Cyberjaya, yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2000, pingat, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP. SJKC Masai dari Masai, Johor pula menerima Anugerah Citra Jendela Harapan\u00a0 yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2000, pingat, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP.\nSJKC Kuen Cheng 2 dari Kuala Lumpur pula menerima Anugerah Citra Cakna Kreatif, sementara SJKC Batu 11, Cheras, menerima Anugerah Citra Semangat Berpasukan dan SJKC Chi Man, Sentul, memenangi Anugerah Citra Kasih Juri. Ketiga-tiga pasukan ini membawa pulang wang tunai sebanyak RM500, pingat, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP.\nSementara itu, Anugerah Citra Pelakon Perempuan Terbaik pula disandang oleh Wong Wei Yun dari SJKC Chi Man, Sentul. Bagi Anugerah Citra Pelakon Lelaki Terbaik pula dirangkul oleh Lee Hom dari SJKC Union, Cyberjaya. Mereka berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM300, pingat, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP.\nYang turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBhg. Prof. Datuk Seri Awang Sariyan (Pengerusi Lembaga Pengelola DBP), YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan [Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP], YBrs. Tuan Haji Mesran Yusop (Ketua Pengarah JKKN), dan YBhg. Dato\u2019 Goh Hin San (Presiden Persatuan HAN).\nUntuk rekod, Pertandingan Teater Bahasa Melayu SJKC telah dilaksanakan sejak tahun 2016. Tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk mewujudkan dan menyediakan persekitaran penggunaan bahasa kebangsaan yang betul, indah dan santai dalam kalangan murid sekolah. Selain itu, pertandingan ini juga merupakan satu daripada usaha untuk menanam semangat kecintaan murid-murid terhadap bahasa kebangsaan dan memperkukuh bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi dan bahasa perpaduan. Semoga pertandingan teater seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang sebagai langkah untuk mengetengahkan bakat pelajar SJKC yang secara langsung dapat mempertingkatkan penguasaan bahasa kebangsaan. Keputusan Pertandingan Teater Bahasa Melayu SJKC" "Pengaruh COVID-19 terhadap Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSelepas negara berdepan dengan ancaman COVID-19 sejak awal tahun 2020, banyak istilah baharu yang muncul. Istilah yang biasanya berlegar di sekitar pengamal perubatan mulai beredar di khalayak ramai. Susulan menyebarnya virus maut itu, kerajaan mengambil langkah drastik dengan mengenakan sekatan pergerakan. Ekoran pertambahan jumlah kes jangkitan dan kematian, satu strategi dikeluarkan bagi membendung penularannya, iaitu melalui suntikan vaksin seperti Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac, dan Johnson & Johnson kepada rakyat\nYa, COVID-19, sekatan pergerakan dan vaksinasi\u00a0 merupakan tiga perkara yang tidak terelakkan oleh dunia. Yang menariknya, di sebalik fenomena baharu itu, dunia bahasa turut terkesan. Kesannya amat positif kerana ilmu yang berkaitan dengan perkara itu juga berkembang. Istilah, kosa kata, ungkapan dan kata berkembang selaras dengan perkembangan, penemuan baharu dan perubahan yang dialami oleh masyarakat bahasa itu.\nBegitulah juga bahasa Melayu sejak sekitar satu setengah tahun lalu. Siapakah yang menafikan bahawa istilah bahasa Melayu yang berkaitan dengan bidang perubatan dan kesihatan awam semakin bertambah? Agensi bahasa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak boleh lagi bekerja mengikut amalan lama. Maksudnya, jika dahulu pelbagai jawatankuasa istilah hanya bersidang beberapa kali setahun tetapi dalam kebiasaan baharu, amalan sedemikian tentunya tidak lagi sesuai. Oleh itu, sesuai dengan tuntutan dan keperluan semasa, DBP kini mengamalkan strategi dan pendekatan pragmatik dari segi penggubalan istilah. Badan berkenaan bergerak seiring dengan perkembangan di sekitarnya.\nDBP bersikap proaktif, pragmatik dan sentiasa mengemas kini istilah terbaharu yang berkaitan dengan bidang perubatan, kesihatan awam dan persoalan lain. Pendekatan ini wajar dan munasabah. Langkah ini memang disambut baik oleh pengguna bahasa, termasuklah pengamal media, khususnya wartawan, editor dan penyiar. Sebagai individu yang terbabit secara langsung dalam bidang media dan penulisan, penulis berdepan dengan cabaran memilih atau menggunakan istilah yang sesuai dan tepat terutamanya ketika menulis berita, rencana dan analisis tentang COVID-19, vaksinasi dan hal yang bersangkutan.\nHasilnya, ikhtiar yang diambil oleh DBP itu amat membantu dalam hal ini. Dahulu penulis terkial-kial untuk mencari istilah yang sesuai dalam bahasa Melayu. Kini hal itu tidak lagi sedemikian walaupun tidak dinafikan sekali-sekala penulis tetap berdepan dengan masalah berkenaan. Justeru amat penting bagi pengguna bahasa Melayu untuk menggunakan istilah baku dan tepat yang disediakan oleh DBP. Walau bagaimanapun, banyak pengguna, termasuklah pemimpin politik lebih berminat menggunakan istilah dalam bahasa Inggeris meskipun istilah itu telah pun wujud dalam bahasa Melayu.\nSesuatu yang baharu dalam apa-apa bidang akan mencetuskan kosa kata, istilah dan ungkapan baharu. Semuanya menggambarkan pembaharuan, perubahan, perkembangan dan kemajuan dalam ilmu dan pemikiran manusia. Contohnya, hal yang berkaitan dengan pandemik COVID-19, munculnya istilah perintah kawalan pergerakan dan kemudiannya sekatan pergerakan. Kemudian, total lockdown dan partial lockdown yang diterjemahkan oleh DBP sebagai sekatan pergerakan penuh dan sekatan pergerakan separa.\nDi luar negara misalnya, Texas Medical Center (TMC) menyenaraikan istilah dan\u00a0 kosa kata yang berkaitan dengan pandemik itu. Senarai kosa kata dan istilah itu penting bagi membantu orang ramai memahami pandemik COVID-19. Yale Medicine juga mengambil langkah yang sama.\nNursing Center melalui portalnya menyenaraikan 52 istilah setakat ini dengan pentakrifan dan maknanya sekali. Manakala UVA Health pula menyenaraikan 28 istilah dengan takrifan maknanya sekali. Pakarnya menyediakan glosari istilah utama yang perlu diketahui dan difahami oleh orang ramai.\nSebahagian istilah berkenaan belum digunakan dan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Oleh itu, usaha untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan betul tentang pandemik ini amatlah penting bagi mengelakkan diri daripada dijangkiti. Walau bagaimanapun, langkah ini juga mungkin bermasalah ketika kita berdepan dengan jumlah istilah dan maklumat berkaitan yang meledak dan muncul pada waktu yang singkat dan pantas.\n\u201cJika mahu memberikan respons dengan cara yang jelas, anda perlu mempunyai pemahaman yang jelas tentang apa-apa yang kami perkatakan. Amatlah penting untuk kita memahami perkataan dan istilah yang membawa makna berbeza. Umpamanya, kuarantin dan isolasi bukan perkara yang sama,\u201d jelas Jaimie Meyer, pakar penyakit berjangkit.\nKetika virus berkenaan mencetuskan krisis kesihatan yang dahsyat kepada dunia, terdapat kesan langsung terhadap bahasa dunia, termasuklah bahasa Melayu. Bahasa Melayu turut berubah dan menyesuaikan diri dengan perubahan sekitarnya, termasuklah ketika negara dan dunia berdepan dengan pandemik ini.\nSejak virus ini tercetus di Wuhan, China, pada akhir tahun 2019, banyak istilah dan ungkapan baharu yang muncul melalui pelbagai media. Memahami istilah dan kosa kata berkenaan dengan tepat tentunya sama penting dengan memahami cara virus itu merebak, berjangkit dan akhirnya membawa risiko kematian. Hakikatnya, istilah dan kosa kata baharu dalam bahasa Melayu dapat membantu melindungi diri, keluarga dan rakyat daripada tergugat oleh ancaman pandemik tersebut.\nIstilah dan kosa kata berkenaan juga membantu kita untuk lebih memahami fenomena dan maklumat berkaitan dengan pandemik itu pada waktu yang mencabar dan menakutkan ini. Diakui atau tidak, Coronavirus terus membentuk dan mempengaruhi kehidupan dan bahasa kita. Kita diasak untuk mempelajari istilah baharu pada setiap bulan dan kalaupun tidak pada setiap minggu.\nHanya pada awal tahun lepas kita dapat membezakan antara epidemik dengan pandemik, kuarantin dan isolasi atau pengasingan. Istilah juga berubah sesuai dengan perubahan maksud. Pada awalnya, penjarakan sosial digunakan tetapi apabila istilah itu tidak begitu menepati maksudnya, istilah penjarakan fizikal untuk social distancing dan physical distancing digunakan.\nKita juga diperkenalkan dengan istilah lockdown, circuit breaker dan movement control order. Pandemik ini telah mengakibatkan banyak istilah masuk ke minda berbilion-bilion warga dunia.\n\nBahasa juga bertindak dan berubah seperti entiti hidup, sesuai dengan perubahan zaman. Tidak ada bahasa yang jumud kerana jika berlaku, bahasa itu akan cepat mati dan tidak berkembang. Oleh sebab itu, bahasa Melayu yang dinamik sentiasa menambah dan menyerap istilah, kosa kata dan ungkapan baharu seperti yang disaksikan daripada pandemik ini. Kosa kata dan ungkapan baharu ini dikenali sebagai neologisme.\nSebarang perubahan dalam bahasa lazimnya melalui dua fasa, iaitu inovasi dan penyebarannya. Sesuatu istilah dalam konteks pandemik ini kelihatannya banyak dicetuskan oleh pakar atau agensi terbabit seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).\nIstilah dan kosa kata berkenaan cepat tersebar, lebih-lebih lagi di dunia tanpa sempadan dan hasil ledakan teknologi maklumat dan media, terutama media sosial. Ketika pandemik ini meledak dan terus diperkatakan serta diwacanakan, istilah dan kosa kata baharu terus dicipta dan digunakan dan tersebar sepantas penyebaran virus maut itu.\nOleh itu, kita perlu berusaha untuk menterjemahkan pelbagai istilah baharu daripada bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu dengan pantas. Bagi pengamal media dan pengguna bahasa, kecepatan terjemahan istilah amat penting yang banyak membantu mereka. Penyerapan, pemungutan, pengubahsuaian dan pemanfaatan unsur asing ialah sesuatu yang biasa, malah banyak membantu memperkaya bahasa Melayu sejak sekian lama.\nMerriam-Webster, pada 18 Mac 2020, mengambil langkah proaktif dengan mengemas kini kamusnya sebagai respons terhadap pandemik. Pada April 2020, editor Oxford English Dictionary melakukan sesuatu yang luar biasa yang diistilahkan sebagai kebiasaan baharu.\nUntuk tempoh 20 tahun lalu, mereka mengemas kini kamus berkenaan pada setiap suku tahun, iaitu pada bulan Mac, Jun, September, dan Disember dengan memasukkan kosa kata baharu dan maknanya. Namun begitu, editornya segera mengemas kininya seiring dengan penyebaran COVID-19.\nTentu ada baiknya DBP melalui jawatankuasa berkenaan meneliti semua istilah dalam bahasa Inggeris itu sebagai rujukan dan mengambil langkah untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu. Terdapat beberapa istilah dalam bahasa Inggeris itu yang belum lagi digunakan oleh media bahasa Inggeris di negara ini. Semoga ada kajian dalam bidang bahasa dan linguistik sebagaimana pandemik ini telah memberikan kesan dan mempengaruhi bahasa Melayu.\n\u00a0\n(Dr. Jeniri Amir ialah Felo Kanan Majlis Profesor Negara dan pengamat bahasa.)" "Frasa Sendi Nama \u201cDengan Giatnya\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nMengapakah frasa dengan giat perlu ada perkataan \u201c-nya\u201d, iaitu dengan giatnya?\nDaripada:\nSahimah Ahmad,\nJohor Bahru." "Pementasan Teater Bahasa Melayu Menyemai Sikap Megah akan Bahasa Kebangsaan kepada Generasi Muda\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bahasa kebangsaan merupakan \u201ctiang seri\u201d dalam pembinaan negara bangsa yang menekankan elemen pemersatuan dalam kalangan rakyat melalui bahasa. Walaupun rakyat Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk yang penuh dengan kerencaman, bahasa kebangsaan memainkan peranan yang penting sebagai wahana perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.\nBagi memastikan bahasa kebangsaan tidak bersifat eksklusif kepada sesuatu kelompok tertentu, program Pertandingan Teater Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) diadakan pada hari ini bagi menggalakkan persekitaran penggunaan bahasa kebangsaan yang betul, indah, dan santai, namun sarat dengan nilai murni dan teladan sama ada secara tersurat atau tersirat kepada semua pihak yang terlibat.\nDemikian antara ucapan YB Puan Lim Hui Ying, iaitu Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, ketika merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Teater Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur.\nDalam ucapannya itu, YB Puan Lim Hui Ying berkata bahawa program ini juga menjadi wahana bagi menanam dan menyemai kecintaan dan mewujudkan sikap megah akan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam kalangan pihak yang terlibat khususnya dari SJKC yang melibatkan murid, guru, pentadbir sekolah serta pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Selain itu, penganjuran ini juga membolehkan bahasa kebangsaan menjadi bahasa komunikasi utama dalam kalangan pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui pertandingan ini.\nSaya sentiasa menyokong dan mendukung program ini yang bertepatan dengan tujuh teras utama dalam memperkasakan pendidikan negara yang menjadi tumpuan Kementerian Pendidikan Malaysia pada masa ini. Program ini bertepatan dengan teras kelima, iaitu Penekanan Aspek Karamah Insaniah, yang bermatlamat bagi pembinaan sahsiah akhlak mulia dan keperibadian serta jati diri murid.\nTambah beliau, elemen ini amat penting bagi mengurangkan gejala negatif dan masalah disiplin dalam kalangan murid. Tambahan pula, program ini dapat membentuk keterampilan berbahasa kebangsaan dan meningkatkan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan dalam kalangan warga SJKC.\nPertandingan Teater Bahasa Melayu SJKC telah dilaksanakan sejak tahun 2016 yang bertujuan mengetengahkan bakat pelajar SJKC, yang secara langsung dapat mempertingkatkan penguasaan bahasa kebangsaan melalui teater. Program ini dilaksanakan secara kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Persatuan Kebudayaan Han Malaysia (HAN). Sebanyak sembilan buah sekolah menyertai pertandingan ini bagi merebut enam hadiah utama.\nSementara itu, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam ucapan alu-aluannya pula menyatakan bahawa program Pertandingan Teater Bahasa Melayu SJKC ini merupakan program yang saling melengkapi dalam acuan pembudayaan dan penghayatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Program\u00a0 ini memupuk elemen perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia menerusi kegiatan kebahasaan dan persuratan Melayu dengan pelibatan pelbagai khalayak yang melibatkan agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan dan lain-lain.\nSemoga pertandingan seperti ini dapat mempertingkatkan penguasaan bahasa kebangsaan dengan lebih baik dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Program kebahasaan seperti ini juga dapat menerapkan pendekatan didik hibur dalam kalangan masyarakat kerana bahasa Melayu bukan sekadar dilihat dalam aspek bahasa semata-mata, tetapi mempunyai unsur hiburan dan penyaluran ilmu serta maklumat yang betul melalui hiburan. Semoga teater bahasa Melayu juga dapat diantarabangsakan kerana sudah terbukti bahawa bahasa kebangsaan menjadi unsur persefahaman pelbagai kaum.\nTambah beliau lagi, program ini membawa mesej yang jelas tentang pentingnya semua pihak menghargai dan memuliakan bahasa kebangsaan negara ini sebagai satu daripada tonggak negara.\u00a0\nYang turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan [Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP], YBrs. Tuan Haji Mesran Yusop (Ketua Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara), YBhg. Dato\u2019 Goh Hin San (Presiden Persatuan HAN), pengarah-pengarah jabatan DBP, ketua-ketua bahagian DBP, guru besar, ibu bapa, pelajar sekolah, staf DBP dan para tetamu undangan." "Amalan Membaca Meningkatkan Pengetahuan Kosa Kata\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Tabiat membaca merupakan amalan mulia yang seharusnya dipupuk sebermula seorang kanak-kanak mengenal huruf dan tahu mengeja. Amalan ini bukan sekadar melahirkan minda yang terbuka dan berwawasan, malah turut merangsang peningkatan pemerolehan bahasa seseorang. Oleh sebab itu, amalan membaca dalam kalangan kanak-kanak seharusnya menjadi keutamaan setiap ibu bapa di Malaysia. Sehubungan dengan itu, rancangan Cakna Bahasa anjuran BERNAMA Radio, telah menampilkan Puan Safa Safwan, yang juga merupakan Pengasas Komuniti Membaca dan Penulis, untuk berkongsi perihal \u201cBina Tabiat Membaca\u201c.\nMenurut Puan Safa Safwan, trend pembacaan di Malaysia dekad ini berkembang dengan begitu baik. Buktinya dapat dilihat di pesta-pesta buku yang dianjurkan sekitar tahun lepas yang bermula dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada bulan Jun, dan kemudiannya oleh pesta-pesta buku yang seterusnya dan yang terbaharu pada bulan Disember, iaitu Selangor International Book Fair.\nKita boleh melihat banyak pengunjung yang datang. Situasi ini bukan sekadar trend semata-mata tetapi kita boleh lihat dari sudut mereka hendak menjayakan apa-apa sahaja yang telah disarankan oleh mantan Menteri Pendidikan Malaysia, iaitu YBrs. Dr. Mazlee Malik untuk menjadikan Malaysia ini sebagai \u2018Malaysia Membaca\u2019.\nBeliau turut menyatakan bahawa amalan membaca dalam kalangan anak-anak seharusnya bermula daripada didikan ibu bapa di rumah dan amalan ini seharusnya menjadi satu tabiat yang konsisten sehingga mereka meningkat dewasa. Sementara itu, bagi sesetengah pihak yang baru berjinak-jinak untuk mengamalkan tabiat membaca seawal usia dewasa, amalan membaca akan membantu mereka memperoleh maklumat dan informasi sesuatu perkara.\nUntuk ibu bapa di rumah, sebaik-baik usia anak-anak yang sepatutnya kita boleh perkenalkan ataupun dedahkan ialah dari saat mereka mula mengenal dan tahu apakah itu objek yang bernama buku. Kita boleh memperkenalkan kepada mereka bahawa aktiviti pembacaan ialah aktiviti yang menyeronokkan dan\u00a0 suatu perkara yang bermanfaat untuk dilakukan.\nBeliau juga menegaskan bahawa amalan tabiat membaca yang dipraktikkan sejak usia kecil sangat membantu dirinya dalam proses pemerolehan bahasa, yakni kesan daripada tabiat pembacaan yang akhirnya membolehkan beliau mempunyai perbendaharaan kosa kata yang banyak sehingga perkara ini membantu dirinya dalam proses penulisan.\nTanpa tabiat pembacaan adalah sesuatu yang mustahil untuk meningkatkan input pemerolehan bahasa. Sebagaimana ujar beliau, \u201cSaya bersyukur kerana kelebihan membaca sejak awal dahulu \u2013 sewaktu kecil menjadikan saya kaya dengan kosa kata. Oleh itu, apabila kaya dengan kosa kata dan saya salurkannya dalam minat saya, iaitu menulis. Saya suka menulis puisi khususnya dan sangat perlukan kekayaan kosa kata ini untuk membantu saya mencari ilham dan berkreativiti dengan penulisan. Amalan membaca juga mendidik saya menjadi seorang yang berfikiran terbuka dan lebih kreatif dalam menyampaikan maklumat\u201d.\nSebelum berakhirnya sesi perkongsian ilmu itu, beliau turut berkongsi nasihat indah daripada seorang penulis buku Dunia adalah Senaskhah Dongeng kepada para pendengar.\nDengan membaca, engkau telah berjalan ke seluruh dunia tanpa melangkahkan kaki. Apabila engkau mula membaca, engkau mula hidup. Membaca bukan sekadar membaca, sebaik-baiknya membacalah untuk mendidik jiwa. Membaca seribu buku bermakna bahawa engkau hidup seribu kali. Membeli buku ini akan hilang maknanya jika engkau tidak membeli waktu untuk membaca." "Mengapa Bunuh \u201cOleh?\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSaya tidak ingat bilakah sebenarnya \u201coleh\u201d ditalkinkan pengunaannya oleh banyak editor akhbar berbahasa Melayu. Hal ini nampaknya berleluasa juga dalam pemberitaan TV dan radio. Saya menganggapnya satu peristiwa pembunuhan kata yang amat tragis dalam sejarah penulisan dalam bahasa Melayu.\nPerkataan \u201coleh\u201d adalah \u201ckata sendi nama\u201d untuk menunjukkan pembuat dalam ayat-ayat pasif.\nKamus Dewan edisi keempat memberikan takrif dan huraian \u00a0\u201coleh\u201d pada halaman 1095 dan 1096. Tidak pula disebutkan di dalam mana-mana kamus atau buku tatabahasa terbitan DBP bahawa \u201coleh\u201d patut dihapuskan penggunaannya.\nPada masa ini, kita berdepan dengan ayat-ayat seperti di bawah:\nKita ambil contoh ayat yang pertama. Frasa nama (Mamat) itu ialah \u201cpelaku diri ketiga\u201c, sementara \u201cbola itu\u201c ialah subjek ayat pasif. Dalam ayat aktifnya (Mamat menendang bola itu), memang betul \u201cbola itu\u201c objek, iaitu objek kepada kata kerja transitif \u201cmenendang\u201c.\nSecara mudahnya, dalam ayat itu objek frasa nama ialah \u201cMamat\u201d dan objeknya \u201cbola itu\u201d. Ayat ini telah dipasifkan di mana \u201cbola itu\u201d berperanan sebagai objek dalam ayat aktif.\nOleh yang demikian (lihat penggunaan \u201coleh\u201d di sini) dalam konteks ini, \u201coleh\u201d perlu digunakan. Samalah seperti dalam ayat yang berikut:\n\u201cMajlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri.\u201d dan bukan \u201cMajlis itu dirasmikan Perdana Menteri.\u201d \u00a0\nMemang ada keadaannya \u201coleh\u201d sama ada boleh atau tidak perlu digunakan. Misalnya:\n\u201cKuih itu sudah diambil Tomok semalam.\u201d\nNamun begitu, tidak ada salahnya menggunakan ayat \u201cKuih itu sudah diambil oleh Tomok\u00a0semalam\u201d.\n\u00a0\nDi dalam ayat-ayat ini ,\u201coleh\u201d tidak boleh ditinggalkan:\nAnak dara itu dipatuk oleh ular. \u00a0\nBilik saya digunakan oleh menteri wanita itu untuk bersolek. \nMenara baharu PNB dicerobohi oleh dua orang warga Rusia.\n\u00a0\nContoh lain:\nDuit untuk tujuan rasuah itu telah diambil oleh pegawai tinggi tersebut.\nRumah besar Ketua Bahagian itu dibina oleh seribu orang pekerja. \nMemang ada ketikanya \u201coleh\u201d boleh ditinggalkan. Misalnya untuk ayat pasif di mana unsur subjeknya diberikan keutamaan:\nContohnya:\nKucing kurap itu diberi makan ayah pagi tadi.\nBudak-budak itu kena kejar unta. \nMereka kena hasut pemimpin politik.\nSebenarnya \u201coleh\u201d merupakan kata yang indah. Dalam Kamus Dewan\u00a0ditunjukkan beberapa contoh bagaimana \u201coleh\u201d boleh digunakan pada awal perkataan:\nOleh tiada jalan lain hendak menyelamatkan dirinya, ia mencuba hendak terjun ke dalam air.\nDalam kitab-kitab lama Melayu pula ada ditunjukkan bagaimana \u201coleh\u201d digunakan dengan indah dalam ayat-ayat seperti di bawah:\nMaka oleh si penyadap budak itu dibawanya kembali ke rumahnya, dipeliharanya dengan sepertinya.\nMaka disuruh buka oleh baginda, maka dilihatnya tatal bergulung seperti subang.\n(dari Kitab Sejarah Melayu).\nSaya sangat berharap agar para penyunting media berbahasa Melayu kembali menggunakan \u201coleh\u201d. Hanya dalam keadaan tertentu boleh ditiadakan kata sendi nama yang istimewa itu. Alangkah indahnya bahasa Melayu apabila kita membuat ayat seperti yang berikut:\nRumah yang indah itu dibina oleh tukang terbaik dari Johor.\nDemikian juga halnya, banyak orang berpendapat bahawa \u201chari\u201d, \u201cbulan\u201d dan \u201ctahun\u201d adalah redundant dalam bahasa Melayu. Sebenarnya tidak! Maka itu, kita menemui ayat-ayat pelik seperti ini dalam media berbahasa Melayu.\nMajlis itu dibuat pada Jumaat.\nDia dilahirkan pada 1985.\nMalaya mendapat kemerdekaaan daripada \u00a0British pada 1957.\nAlangkah indahnya ayat-ayat itu sekiranya ditulis seperti yang berikut:\nMajlis itu dibuat pada hari Jumaat.\nDia dilahirkan pada tahun 1985.\nMalaya\u00a0mendapat kemerdekaaan daripada British \u00a0pada tahun 1957.\nBegitulah struktur ayat Melayu yang baik lagi indah! Janganlah terbawa-bawa dengan struktur ayat bahasa Inggeris! Pola pembentukan ayat kita berbeza, begitu juga binaan ayat kita.\nMenurut Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, pakar bahasa dan juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kata lain yang nampaknya \u201cdiharamkan\u201c oleh editor media berbahasa Melayu \u00a0ialah \u201cyang\u201c.\nPada pendapat beliau, pada masa ini banyak ayat yang salah dan amat janggal menurut akal budi Melayu.\nContohnya:\nPerdana Menteri baru pulang dari luar negara menegaskan pentingnya prinsip berkecuali diamalkan.\nRumah berwarna hitam itu kelihatan hodoh sekali. \u00a0\nBilik digunakan \u00a0menteri itu kini telah disita. \nSepatutnya:\nPerdana Menteri yang baru pulang dari luar negara menegaskan pentingnya prinsip berkecuali diamalkan.\nRumah yang berwarna hitam itu kelihatan hodoh sekali. \u00a0\nBilik yang digunakan oleh \u00a0menteri itu kini telah disita. \nMenurut Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, contoh-contoh di atas adalah di antara sejumlah kejanggalan lain dalam \u201cgaya media\u201c kini. Sememangnya kita memahami prinsip \u201cringkas, tepat, padat\u201c dalam media tetapi tidak patut sampai mengorbankan asas bahasa seperti yang dipertahankan dalam bahasa lain.\nOleh yang demikian, jangan bunuh \u201coleh\u201d, jangan korbankan \u201cyang\u201d\u00a0selain membuang \u201chari\u201d,\u00a0\u201cbulan\u201d dan \u201ctahun\u201d.\n\u00a0\n\u00a0\n*** Tan Sri Johan Jaaffar bukan pakar bahasa tetapi beliau pencinta dan pengguna bahasa Melayu sejak di bangku sekolah lagi. Beliau juga penulis kreatif dan Tokoh Wartawan Negara." "Peranan Penting Pakar Bahasa dan Budaya Melayu di China\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPakar bahasa Melayu mempunyai peranan yang penting khasnya di negara asing. Melihat perkembangan semasa bahasa Melayu di China sudah pasti bahasa ini menjadi nadi utama bagi memastikan penyampaian ilmu dan kemahiran yang sebenar dalam mempelajari bahasa dan budaya Melayu di China. Mengimbas kembali perkembangan bahasa Melayu di China yang bermula pada tahun 1962 di Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU)\u00a0yang\u00a0menjadi titik tolak dan berkembang penawaran dan perkembangan kursus bahasa Melayu di China dan hingga kini, institusi pengajian tinggi di seluruh China yang menawarkan Program Ijazah Bahasa Melayu telah mencecah 13 buah yang membabitkan 11 buah universiti dan dua buah kolej. Menurut statistik,\u00a0setakat Mei tahun ini, sejumlah 41 orang pensyarah China dan tujuh orang pakar asing dari Malaysia menjadi tenaga pengajar di 13 buah institusi pengajian tinggi China\u00a0(Su Yingying, Han Xiao: 2022).\nPemerhatian lanjut perlu difokuskan pada proses pelantikan dan penempatan tujuh orang pakar asing dari Malaysia di China. Mereka merupakan golongan profesional yang terlatih dalam bidang pengajian Bahasa Melayu dan juga boleh diangkat sebagai diplomat bahasa dan budaya yang mengangkat martabat bahasa dan budaya Melayu di China. Antara mereka yang perlu disebut namanya termasuklah\u00a0Cikgu Zaiton Zakarya, yang bertugas di Universiti Pengajian Asing Guangdong (GDUFS), Cikgu Ranofla Dianti Irwan\u00a0yang\u00a0bertugas di Kolej Pengajian Bahasa Asing Hainan (HCFS), Cikgu Nurul Afifah Adila Mohd Salleh\u00a0yang\u00a0bertugas di \u00a0Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU), Cikgu Mohamad NorTaufiq Nor Hashim\u00a0yang\u00a0bertugas di Universiti Yunnan (YNU), \u00a0Cikgu Nurul Farhana Suhaime\u00a0yang\u00a0bertugas di Universiti Pengajian Asing Hebei (HFSU), Cikgu Khairul Izzat Amiruddin\u00a0yang\u00a0bertugas di Universiti Pengajian Asing Guangdong (GDUFS) dan Cikgu Zahwah Jamaludin\u00a0yang\u00a0bertugas di Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Sichuan.\nSelain mereka,\u00a0terdapat juga pakar bahasa Melayu yang pernah berkhidmat di China,\u00a0antaranya\u00a0termasuklah\u00a0Cikgu Rozie Adama, Cikgu Basri Abdillah dan Cikgu Darwaliz Sazan. Mereka yang terlibat sudah pasti mendapat sokongan, panduan dan kerjasama yang penuh daripada tokoh bahasa,\u00a0Profesor Datuk Seri Dr.\u00a0Awang Sariyan,\u00a0yang memainkan peranan yang penting dalam menghubungkan kepesatan bahasa dan budaya Melayu Malaysia dan China.\nMengikut rekod pelantikan,\u00a0ada di\u00a0antara mereka yang dilantik telah melebihi lima\u00a0tahun. Hal ini membuktikan kepercayaan dan keyakinan pihak institusi pendidikan tinggi di China yang mengiktiraf peranan dan sumbangan mereka kepada perkembangan bahasa dan budaya Melayu di China. Mereka yang merupakan penutur jati bahasa Melayu ini dapat mempertingkatkan usaha-usaha keberkesanan penggunaan bahasa dan pemahaman budaya yang sebenarnya. \u00a0Hal ini secara tidak langsung juga akan mewujudkan suasana dan budaya penggunaan bahasa dan budaya Melayu dalam komuniti pengajian di China.\nKita juga dapat melihat tenaga pakar ini bertindak sebagai pembimbing dan pemudah\u00a0cara bagi pelaksanaan aktiviti perkembangan bahasa dan budaya Melayu di China.\u00a0Antaranya\u00a0termasuklah\u00a0program dan aktiviti seperti deklamasi sajak, pertandingan pidato, pertunjukan makanan tradisional, permainan tempatan dan pertandingan nyanyian lagu Melayu. Hal ini secara langsung menggalakkan penguasaan bahasa dan budaya Melayu dengan cara yang lebih mesra dan santai. Selain itu, tenaga pakar ini juga bertindak sebagai pakar rujuk institusi pendidikan tinggi di China dalam usaha menjalinkan kerjasama pendidikan yang strategik seperti program pertukaran pelajar hasil daripada Memorandum Persefahaman dan Memorandum Perjanjian antara institusi Malaysia dengan\u00a0China.\nMelihat peranan dan tanggungjawab besar yang dimainkan oleh mereka\u00a0ini\u00a0tidak akan lari daripada cabaran yang perlu dihadapi oleh mereka. Antaranya yang dinyatakan dalam kajian (Zaiton Zakarya, Salinah Ja\u2019afar, \u00a0Mardian Shah Omar, Nurul Afifah Adila Mohd Salleh\u00a0dan\u00a0Juwairiah Osman, 2022) termasuklah menjelaskan hal \u00a0yang berkaitan\u00a0dengan\u00a0cabaran seperti kurikulum yang tidak seragam, kekurangan bahan pengajaran yang sesuai, tiada aplikasi mudah alih, perbezaan tahap penguasaan pelajar dan kurangnya motivasi dalam kalangan pelajar.\nKesemua cabaran ini sedang dihadapi oleh tenaga pakar ini bagi mencari jalan penyelesaian terbaik. Satu semangat yang harus dipuji ialah kumpulan tenaga pakar ini tidak mudah mengalah dan mereka terus bersemangat untuk memberikan yang terbaik. Perbincangan berkala melalui aplikasi WhatsApp dan secara dalam talian Google Meet diadakan secara berkala untuk bertukar pandangan dan maklumat selain menambahkan keakraban antara tenaga pakar sebagai satu pasukan bagi memperjuangkan bahasa dan budaya Melayu di bumi tembok besar China ini.\nSatu perkara yang menggembirakan juga ialah adanya perbincangan dan pertimbangan awal yang telah bermula bagi melihat kumpulan pakar ini bertindak sebagai satu daripada cabang sekretariat dalam Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu atau singkatannya,\u00a0MABM. Umum sedia maklum bahawa majlis ini merupakan majlis khas yang ditubuhkan untuk menyelaraskan aktiviti kebahasaan yang menjurus pada matlamat pengembangan bahasa pada peringkat antarabangsa.\nHal ini menyokong kesedaran dan keperihatian Kerajaan Malaysia terhadap perkembangan bahasa Melayu dan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh beberapa pihak di dalam dan di luar negara berhubung dengan pengembangan bahasa ini pada peringkat antarabangsa. Dengan harapan juga majlis ini dapat \u00a0menyelaraskan aktiviti kebahasaan yang menjurus pada matlamat pengembangan bahasa pada\u00a0peringkat antarabangsa khasnya memperkukuhkan persahabatan Malaysia dan China.\nDengan platform yang sedia ada ini sudah pastinya\u00a0dapat membuka ruang dan peluang kepada perancangan dan pelan tindakan yang berkaitan dalam pengembangan bahasa dan budaya Melayu di China. Model-model perkembangan bahasa dan budaya daripada agensi seperti British Council, Institut Konfusius dan The Japan Foundation KL boleh dijadikan\u00a0sebagai\u00a0penanda aras bagaimana pihak luar memperkembang\u00a0bahasa dan budaya mereka di Malaysia.\nHarapan cukup besar di\u00a0bawah naungan MABM ini\u00a0dan\u00a0pasukan sekretariat yang dianggotai juga oleh mereka dalam kalangan tenaga pakar bahasa dan budaya Melayu di China ini dapat dibantu bukan sahaja\u00a0dalam\u00a0urusan hal ehwal dan kebajikan tenaga pakar di China,\u00a0malahan melihat bagaimana peranan mereka sebagai diplomat bahasa dan budaya untuk mengangkat martabat bahasa kebangsaan negara Malaysia ini\u00a0dengan lebih tinggi.\nUsaha-usaha seperti ungkapan lembut bahasa Melayu, iaitu\u00a0ibarat \u201cMencurah air ke daun keladi\u201c perlu ditransformasikan kepada ungkapan\u00a0\u201cGenggam bara api, biar sampai jadi arang\u201d\u00a0yang perlu didukung oleh semua pihak. Tahun baharu 2023 bakal dihiasi dengan kerancakan dan kemeriahan kita menanam tekad \u201cBahasa Jiwa Bangsa\u201d." "Media Sosial Jejaskan Kualiti Bahasa Remaja Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKemajuan sains dan teknologi pada masa ini telah banyak membawa perubahan yang pesat dalam perkembangan komunikasi. Arus teknologi ini telah membuka suatu dimensi baharu kepada masyarakat, terutamanya golongan remaja untuk berkomunikasi secara nyata atau di alam maya. Penggunaan bahasa yang ringkas, pendek dan bersahaja dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) di media sosial seperti Facebook dan Twitter sangat popular dalam masyarakat, terutamanya remaja. Golongan remaja dikatakan sedang mengalami \u201ckegilaan\u201d berbahasa ringkas, pendek dan bersahaja. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 474) kata kegilaan bermaksud terlampau sangat suka (asyik).\nKomunikasi SMS pertama berlaku pada 3 Disember 1992. Pada waktu itu, Neil Papworth, juruteknik dari Norway, menghantar mesej Selamat Hari Natal kepada rakannya, Richard Jarvis, yang bekerja di syarikat perkhidmatan GSM Vodafone di Inggeris. Kini, penggunaan bahasa SMS melalui komunikasi telefon bimbit telah berkembang kepada semua komunikasi lain. Contohnya, e-mel, blog dan forum komuniti, selain laman sosial seperti Facebook dan Twitter.\nKemunculan bahasa SMS telah mendorong generasi baharu atau generasi muda mencipta komunikasi yang pantas. Banyak singkatan dan reka bentuk kata baharu telah dicipta. Ada antaranya yang tidak mudah difahami dan ada juga yang langsung tidak difahami oleh pengguna atau pembaca lain. Fenomena ini berlaku kerana faktor masa dan had teks. Penggunaan bahasa SMS ini akan memberikan natijah yang besar yang akan mempengaruhi pengguna. Hal ini dikatakan demikian kerana penggunaannya banyak menimbulkan kesan negatif berbanding dengan kesan positif walaupun kemajuan teknologi dapat memantapkan penggunaan bahasa Melayu pada masa hadapan.\nKini, penggunaan bahasa yang ringkas, singkat dan padat dalam media sosial semakin popular dalam kalangan remaja. Senario ini berlaku kerana penggunaan bahasa seperti ini dalam SMS oleh remaja sangat berhubung kait dengan perkembangan teknologi teks pesanan ringkas tersebut.\nTeknologi SMS itu sendiri sebenarnya menular serta mendorong proses untuk memendekkan dan meringkaskan kata dengan cara menggugurkan huruf vokal dan mencipta kata baharu, mencampuradukkan ragam bahasa dan menggunakan simbol yang mempunyai makna tertentu bagi menggantikan kata asal yang sedia ada. Bahasa teks SMS boleh dianggap sebagai bahasa tersendiri bagi tujuan tertentu dalam konteks tertentu.\nBahasa yang singkat, pendek dan bersahaja yang digunakan oleh golongan remaja dalam media sosial sekarang ini memberikan kesan yang ketara terhadap penggunaan bahasa Melayu standard. Hal ini dikatakan demikian kerana penggunaan bahasa singkatan dan bahasa rojak menghilangkan ketulenan bahasa tersebut. Keadaan ini amat menyedihkan. Pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah selama lebih daripada 10 tahun seolah-olah tidak bermakna apabila golongan remaja mengabaikan penggunaan bahasa tersebut di media sosial. Contoh bahasa yang ringkas, pendek dan bersahaja yang digunakan oleh golongan remaja dalam media sosial ialah \u201csdg wat per tu?\u201d yang dipendekkan daripada ayat \u201csedang buat apa itu?\u201d. Isu ini ialah isu lama yang masih belum dapat diatasi.\nBahasa singkatan menjadi amalan harian kerana sentiasa dapat didengar dan dilihat, terutamanya dalam media sosial. Oleh itu, tidak hairanlah apabila amalan seharian ini menjadi ikutan remaja dalam perbualan di media sosial. Secara tidak langsung, keadaan ini mempengaruhi komunikasi secara dalam talian apabila pengguna mahu menggunakan bahasa ringkas atau rojak untuk berhubung antara satu dengan lain.\nPenggunaan bahasa yang ringkas, pendek dan bersahaja ini kebiasaannya akan bercampur dengan pelbagai bahasa lain untuk menghasilkan bahasa rojak. Natijahnya, penggunaan bahasa seperti ini secara berleluasa tanpa sekatan mengakibatkan remaja malas untuk mempelajari bahasa sebenar secara menyeluruh. Maka itu, penggunaan bahasa ringkas dan rojak digunakan dengan lebih meluas berbanding dengan bahasa Melayu standard. Hal ini dikatakan demikian kerana penerimaannya lebih selari dengan aliran terkini. Keadaan ini menyebabkan remaja kurang berminat untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu yang memiliki tatabahasa dan frasa yang lebih tersusun.\nJika keadaan ini berterusan, kesan yang lain pula boleh berlaku. Dalam hal ini, masyarakat akan membenarkan penggunaan bahasa Melayu yang rosak. Secara tidak langsung, keindahan ayat bakal terhakis. Apabila fenomena ini menular tanpa kawalan dalam kalangan remaja, mereka akan beranggapan bahawa tutur bahasa yang baik bukanlah suatu perkara yang penting. Hal ini dikatakan demikian kerana penggunaan bahasa ringkas lebih diutamakan dalam perbualan talian.\nKini, amat sukar untuk mendidik remaja menggunakan bahasa dengan tepatnya dalam perbualan harian, apatah lagi untuk menggalakkan remaja mempelajari kesantunan bahasa. Hal ini berlaku apabila remaja beranggapan bahawa penggunaannya bukanlah suatu perkara yang perlu ditumpukan. Oleh itu, terdapat keperluan supaya remaja mempelajari bahasa Melayu secara tersusun bagi mengimbangi penggunaan bahasa yang ringkas, pendek dan bersahaja dalam media sosial." "Buku Siri Wacana Bahasa Terbitan Bulan Terbit Menjadi Pedoman Penulis Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAyer Keroh \u2013 Majlis Pelancaran Buku Siri Wacana Bahasa\u00a0telah berlangsung dengan jayanya di Ajwah Space, Kompleks Niaga Vista Kirana pada pagi tadi. Majlis yang diadakan bersama-sama Seminar Panduan Penulisan Anekdot dan Cereka itu telah disempurnakan oleh Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nBuku Siri Wacana Bahasa yang diterbitkan oleh Bulan Terbit, sebuah syarikat penerbitan di bawah SYFE Management Sdn. Bhd., terdiri daripada tiga buah buku, iaitu buku Penulisan Skrip Pengacaraan, Buah Fikiran Memacu Penulisan, dan Kalimat yang Terindah. Menurut penulis buku tersebut, Munsyi Mohamad Musip, yang juga merupakan Munsyi Dewan (Bahasa), beliau sering menjadikan produk penerbitan DBP sebagai rujukan dan sentiasa meletakkan jiwanya dalam penulisan buku tersebut.\n\u00a0\n\u201cJiwa sebagai seorang penulis, pendidik, pembimbing, pemudah cara dan jiwa Munsyi Dewan saya gabungkan semuanya menjadikan kehidupan ini begitu menyeronokkan. Walaupun masa dan jadual saya padat dengan pelbagai tugas, namun pada penghujungnya karya ini tetap dapat diselesaikan. Sebagai seorang penulis, saya sering merujuk Kamus Dewan Perdana dan karya yang terbit dalam majalah terbitan DBP sebagai penanda aras,\u201c kata Munsyi Mohamad Musip.\nSementara itu, Tuan Haji Razali Che Mat pula menyatakan bahawa buku Siri Wacana Bahasa ini merupakan satu pedoman penulisan yang baik untuk dijadikan rujukan oleh para pembaca dan juga penulis baharu. Tambah beliau, usaha pihak SYFE Management Sdn. Bhd. yang menerbitkan buku pedoman dan menganjurkan seminar penulisan seumpama ini wajar diteruskan pada masa hadapan.\n\u201cApabila kita menghargai nilai ilmu dan mengutamakan orang yang berilmu, maka pelbagai manfaat bakal diperoleh. Pelbagai perkara dapat dibuat dan diselesaikan dalam kehidupan ini. Walau bagaimanapun, jangan pula kita meminggirkan orang yang tidak berilmu kerana menjadi satu kerugian kepada diri kita. Dalam hal ini, saya mengharapkan usaha seperti penganjuran seminar ini dapat diteruskan bagi melahirkan penulis yang hebat dan masyarakat yang berilmu,\u201c kata Tuan Haji Razali ketika menyampaikan ucapan perasmian, seterusnya melancarkan buku Siri Wacana Bahasa.\nMajlis yang dihadiri oleh 20 orang tetamu yang terdiri daripada para peserta Seminar Panduan Penulisan Anekdot dan Cereka itu turut diwarnai dengan persembahan khas \u201cCorat-coret di Pinggir Karya\u201c oleh Munsyi Dewan, Mohamad Musip dan\u00a0Ketua 1 Persatuan Penulis Negeri Melaka, Ahmad Zawawi Che\u2019 Cob, ." "Pemartabatan Bahasa Melayu dalam Agenda Perpaduan Kaum\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSarawak \u2013Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) telah menerima kunjungan daripada Yang Berhormat Datuk Abdullah Haji Saidol, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak atau UKAS) bersama-sama pihak pengurusan UKAS, iaitu Encik Samuel Saimon, Pemangku Pengarah dan para pegawai pengurusan UKAS.\nAntara agenda kunjungan ini adalah untuk membincangkan perancangan Sayembara Pidato Perpaduan Peringkat Negeri Sarawak yang akan diadakan pada bulan Februari 2023. Sayembara ini merupakan satu daripada program yang dijalankan bersempena dengan ulang tahun Kemerdekaan Sarawak yang ke-60. Dengan mengangkat tema perpaduan, semangat sinkronisasi yang utuh di Sarawak ini diharapkan dapat dikekalkan melalui penganjuran sayembara ini.\nSelain itu, selaras dengan fungsi DBP dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sayembara ini juga dilihat berupaya melatih keupayaan dan kemampuan masyarakat berbilang kaum di Sarawak untuk menggunakan bahasa Melayu secara fasih, formal dan lancar. Dalam majlis yang sama, Yang Berhormat Datuk Abdullah Haji Saidol turut menyampaikan sumbangan bagi menjayakan penganjuran sayembara pada kali ini.\nDalam perbincangan tersebut juga, Yang Berhormat Datuk Abdullah Haji Saidol turut menjelaskan peranan dan fungsi UKAS dalam menyampaikan maklumat secara rasmi kepada rakyat Sarawak dari sudut politik, sosial, hal ehwal semasa dan sebagainya. Peranan ini penting difahami agar masyarakat di Sarawak tidak ketinggalan daripada isu semasa dan arus perkembangan di Sarawak, serta cakna akan setiap program yang dianjurkan oleh mana-mana kementerian, jabatan dan agensi.\nSementara itu, Yang Berhormat Datuk Abdullah Haji Saidol turut menerangkan peranan UKAS dalam memupuk perpaduan di Sarawak, yang terdiri daripada pelbagai kaum. Satu daripada indikator yang diketengahkan oleh beliau dalam membina tonggak perpaduan ialah perkahwinan campur di Sarawak. Menurut beliau, kecenderungan untuk seseorang itu mempertahankan bangsa yang berlainan adalah tinggi sekiranya terdapat susur galur perkahwinan campur dalam salasilah keluarganya.\nPerkahwinan campur merupakan hal yang lazim di Sarawak, sekali gus menjadikan Sarawak sebuah negeri yang unik dengan wujudnya pertembungan budaya antara kaum tersebut. Yang Berhormat Datuk Abdullah Haji Saidol turut menyuarakan pandangannya agar data dan statistik tentang perkahwinan campur di Sarawak dapat dikumpulkan dan dibukukan sebagai bahan rujukan orang awam.\nPengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai pula turut merakamkan penghargaan atas kesudian pihak Kerajaan Negeri Sarawak menjalinkan kerjasama dalam agenda perpaduan dan kepelbagaian kaum di negeri ini. Beliau berharap agar kerjasama ini akan berterusan pada masa akan datang dalam mencapai matlamat dan hasrat kedua-dua pihak untuk menjayakan program yang memberikan impak besar kepada semua lapisan masyarakat di Sarawak." "Antara \u201cPun\u201c\u00a0dengan \u201cJuga\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata pun dan\u00a0juga\u00a0tergolong sebagai kata penegas, iaitu satu daripada subgolongan kata tugas. Sekali imbas, kedua-dua kata penegas ini seolah-olahnya sama, namun terdapat juga perbezaannya.\nKata pun\u00a0dapat mendukung makna persamaan.\u00a0Dalam hal ini, penggunaannya sama dengan kata juga. Sila lihat contoh yang berikut.\n1a. \u00a0Ini keretanya. Itu pun\u00a0keretanya.\n1b. \u00a0Ini keretanya. Itu juga keretanya.\n\u00a0\nKata pun\u00a0dapat berkaitan dengan perbuatan yang bersambut atau berbalas. Sila lihat contoh yang berikut:\n2a. \u00a0Guru bertanya soalan. Dia pun\u00a0menjawabnya.\n2b. \u00a0Guru memberikan taklimat. Murid-murid pun\u00a0membuat catatan.\n\u00a0\nKata pun\u00a0dapat mendukung maksud tolak ansur, iaitu dapat diganti oleh kata seperti walaupun. Sila lihat contoh yang berikut:\n3a. \u00a0Dipukul pun\u00a0dia tidak berubah.\n3b. \u00a0Walaupun dipukul, dia tidak berubah.\n3c. \u00a0Walau dipukul pun, dia tidak berubah.\n3d. \u00a0Walau dipukul sekalipun, dia tidak berubah.\n\u00a0\nKata pun\u00a0dapat menegaskan maksud ayat. Sila lihat contoh yang berikut:\n4a. \u00a0Satu kali pun\u00a0dia tidak balik ke kampung.\n4b. \u00a0Haiwan pun\u00a0sayang akan anaknya.\n4c. \u00a0Tidak ada sesiapa pun\u00a0hendak menolongnya.\n4d. \u00a0Tidak ada sedikit pun\u00a0makanan yang tinggal.\n4e. \u00a0Barang yang mahal pun\u00a0dibelinya.\n4f. \u00a0\u00a0Dia sudah pun\u00a0pergi.\n\u00a0\nKata pun\u00a0dapat mendukung maksud sedangkan. Sila lihat contoh yang berikut:\n5a. \u00a0Duduk pun\u00a0penat baginya, apa lagi berjalan.\n5b. \u00a0Sedangkan duduk pun penat baginya, apa lagi berjalan.\n\u00a0\n6b. \u00a0Belajar pun\u00a0dia malas, apa lagi bekerja.\n6b. \u00a0Sedangkan belajar pun dia malas, apa lagi bekerja.\n\u00a0\nKata pun dapat menandakan bermulanya sesuatu perbuatan. Dalam prosa tradisional, kata pun biasanya diiringi oleh partikel penegas -lah. Sila lihat contoh yang berikut:\n7a. \u00a0Sesudah semua tetamu datang, majlis pun bermula.\n7b. \u00a0Maka raja itu pun berangkatlah.\n\u00a0\nKata pun\u00a0juga menandakan urutan peristiwa. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n8a. \u00a0Selepas bersarapan, dia pun\u00a0keluar.\n8b. \u00a0Dia bersarapan, kemudian keluar.\n\u00a0\nKata juga\u00a0dapat mendukung maksud persamaan. Dalam hal ini, kata juga dapat diganti dengan kata pun. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n9a. \u00a0Dia marah. Adiknya juga\u00a0marah.\n9b. \u00a0Dia marah. Adiknya pun marah.\n\u00a0\nKata juga\u00a0dapat membawa maksud agak. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n10a. \u00a0Dia cantik juga\u00a0jika dibandingkan dengan adiknya.\n10b. \u00a0Dia agak cantik jika dibandingkan dengan adiknya.\n\u00a0\n11a. \u00a0Dia pandai juga\u00a0menggoreng ikan, tetapi belum mahir betul.\n11b. \u00a0Dia agak pandai menggoreng ikan, tetapi belum mahir betul.\n\u00a0\nKata juga\u00a0dapat mendukung maksud lagi. Sila lihat contoh yang berikut:\n12a. \u00a0Semalam dia lewat. Hari ini dia lewat juga.\n12b. \u00a0Semalam dia lewat. Hari ini dia lewat lagi.\n\u00a0\nKata juga\u00a0dapat membawa maksud terus. Sila lihat contoh yang berikut:\n13a. \u00a0Walaupun ditegur, dia membising juga.\n13b. \u00a0Walaupun ditegur, dia terus membising.\n\u00a0\n14a. \u00a0Walaupun pernah gagal, dia berusaha juga.\n14b. \u00a0Walaupun pernah gagal, dia terus berusaha.\n\u00a0\nKata juga\u00a0dapat diganti oleh kata sahaja\u00a0atau pun. Sila lihat contoh yang berikut:\n15a. \u00a0Sesiapa juga\u00a0disambutnya dengan mesranya.\n15b. \u00a0Sesiapa sahaja disambutnya dengan mesranya.\n15c. \u00a0Sesiapa pun disambutnya dengan mesranya.\n\u00a0\nKata juga\u00a0dapat digunakan sebagai sebahagian daripada kata hubung gabungan berpasangan bukan sahaja .tetapi juga. Sila lihat contoh yang berikut:\n16a. \u00a0Dia bukan sahaja rajin, tetapi sopan juga.\n16b. \u00a0Dia bukan sahaja ke Perak, tetapi ke Pulau Pinang juga.\n\u00a0\nKata juga\u00a0dapat mendukung maksud merangkap. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n17a. \u00a0Gurunya yang juga\u00a0jurulatihnya banyak membimbingnya.\n17b. \u00a0Gurunya merangkap jurulatihnya banyak membimbingnya.\n\u00a0\nKata juga\u00a0dapat menegaskan maksud ayat. Malahan, ada kalanya kata juga\u00a0dapat digandingkan dengan kata pun. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n18a. \u00a0Jangan ke rumah saya. Juga\u00a0jangan hubungi saya.\n18b. \u00a0Dia suka melancong. Saya pun\u00a0suka melancong juga." "Kursi Pengajian Tamadun Melayu di JNU, India Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jawaharlal Nehru University (JNU), India, telah memeterai satu Memorandum Perjanjian (MoA) untuk menubuhkan Kursi Pengajian Tamadun Alam Melayu di School of Language, Literature and Cultural Studies, JNU pagi tadi yang berlangsung di Bilik Senat, Bangunan Canselori, UKM.\nMenurut Naib Canselor UKM, YBhg. Prof. Dato\u2019 Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman, penubuhan kursi ini adalah untuk menyokong usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam menggalakkan ahli akademik, mahasiswa dan warga universiti memperkaya dan memperluas bahasa Melayu dalam pelbagai disiplin ilmu di serata dunia.\nMesyuarat pengurusan universiti telah meluluskan kertas kerja penubuhan kursi ini pada 2 Ogos 2022 dan melantik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) sebagai pusat yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penyelaras kursi.\nKursi Pengajian Tamadun Melayu di JNU, India, ini akan berperanan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu menerusi aktiviti kolaborasi penyelidikan, penerbitan bersama, pengajaran dan persidangan dan jaringan strategik antara kedua-dua universiti awam di negara masing-masing.\nPada majlis tersebut, Naib Canselor UKM, YBhg. Prof. Dato\u2019 Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman\u00a0 dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, UKM, Prof. Dato\u2019 Dr. Wan Kamal Mujani mewakili UKM dalam menandatangani MoA tersebut. Sementara itu,\u00a0 JNU pula diwakili oleh Naib Canselornya, YBhg. Prof. Santishree Dhulipudi Pandit dan Pro-Canselor Universiy of Cyberjaya, YBhg. Tan Sri Dato\u2019 Dr. R. Palan.\nMajlis menandatangani MoA ini telah disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, YBhg. Prof. Emeritus Dato\u2019 Dr. Mohamad Abd Razak dan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, H.E. Mr. B.N. Reddy.\nMajlis yang berlangsung di Bilik Senat, Bangunan Canselori, UKM ini juga disiarkan secara dalam talian melalui laman Facebook ATMA, https://www.facebook.com/InstitutAlamDanTamadunMelayu/videos/710368707402663." "Perihal Pelengkap\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata kerja tidak transitif ialah kata kerja yang tidak diikuti oleh objek. Walau bagaimanapun, kata kerja tersebut dapat diiringi oleh pelbagai kata, frasa atau klausa.\u00a0 Satu daripada unsur pengiring kata kerja tidak transitif ialah pelengkap.\nApakah pelengkap? Pelengkap ialah kata, frasa atau klausa yang melengkapkan maksud sesuatu ayat. Dengan hal demikian, maksud ayat tidak akan tergantung dan pendengar atau pembaca tidak akan tertanya-tanya tentang mesej sepenuhnya yang hendak disampaikan oleh si penutur atau penulis. Sila lihat contoh yang berikut:\nKata pelengkap yang dapat mengikuti kata kerja tidak transitif termasuklah kata nama dan kata adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a.\u00a0 Dia berbantalkan lengan.\n1b.\u00a0 Dia ada kereta.\n1c.\u00a0 Dia menjadi guru.\n\u00a0\n2a.\u00a0 Dia menjadi sihat.\n2b.\u00a0 Dia berbuat jahat.\n2c.\u00a0 Dia bertambah sopan.\n2d.\u00a0 Dia tinggal miskin.\nDalam kelompok ayat 1, kata nama pelengkap lengan, kereta dan guru menjadikan maksud ayat jelas dan lengkap. Walau bagaimanapun, kata kerja tidak transitif \u201cmenjadi\u201d dapat juga diikuti oleh kata adjektif seperti sihat (ayat 2a). Selain itu, kata kerja tidak transitif \u201cmenjadi\u201d tidak perlu diikuti oleh pelengkap jika maksudnya ialah \u201cberjaya seperti yang diharap-harapkan\u201d. Sila lihat contoh yang berikut:\n3. Padi yang ditanamnya menjadi.\nDalam kelompok ayat 2, kata adjektif pelengkap sihat, jahat, sopan dan miskin menjadikan maksud ayat jelas dan lengkap. Walau bagaimanapun, kata kerja tidak transitif \u201ctinggal\u201d dapat juga diikuti oleh frasa sendi nama, seperti di Seremban.\nKata kerja tidak transitif \u201cberasa\u201d dapat juga diikuti oleh kata adjektif pelengkap atau kata kerja pelengkap yang wajib. Ertinya, kata kerja \u201cberasa\u201d tidak dapat menjadi predikat yang lengkap tanpa diikuti oleh kata adjektif atau kata kerja tertentu. Walau bagaimanapun, kata adjektif atau kata kerja tersebut juga sekali gus menjadi penerang bagi kata dasar \u201crasa\u201d dalam kata kerja \u201cberasa\u201d. Sila lihat contoh yang berikut:\n4a.\u00a0 Dia berasa bangga.\n4b.\u00a0 Dia berasa sedih.\n4c.\u00a0 Dia berasa gembira.\n\u00a0\n5a.\u00a0 Dia berasa teruja.\n5b.\u00a0 Dia berasa terkejut.\n5c.\u00a0 Dia berasa terperanjat.\nDalam kelompok ayat 4, kata adjektif bangga, sedih dan gembira merupakan penerang kata dasar nama \u201crasa\u201d yang sekali gus menjadi pelengkap kata kerja tidak transitif \u201cberasa\u201d. Dalam kelompok ayat 5, kata kerja teruja, terkejut dan terperanjat merupakan penerang kata dasar nama \u201crasa\u201d yang sekali gus menjadi pelengkap kata kerja tidak transitif \u201cberasa\u201d.\nPelengkap juga meliputi frasa sendi nama. Sila lihat contoh yang berikut:\n6a.\u00a0 Dia tinggal di Seremban.\n6b.\u00a0 Dia singgah di kedai itu.\n6c.\u00a0 Dia berada di Indonesia.\n6d.\u00a0 Dia menetap di Sarawak.\n6e.\u00a0 Dia bermastautin di Australia.\n\u00a0\n7a.\u00a0 Dia menuju ke utara.\n7b.\u00a0 Dia membelok ke kiri.\n7c.\u00a0 Dia berasal dari Sabah.\nDalam kelompok ayat 6 di atas, sendi nama pelengkap di Seremban, di kedai itu, di Indonesia, di Sarawak dan di Australia menjadikan maksud ayat lengkap. Walau bagaimanapun, kata kerja tidak transitif \u201cberada\u201d tidak perlu diikuti oleh pelengkap jika maksudnya ialah \u201cberharta atau kaya\u201d. Sila lihat contoh yang berikut:\n8a.\u00a0 Keluarganya berada.\nDalam kelompok ayat 7, frasa sendi nama yang menyusuli kata kerja tidak transitif berpangkalkan sendi nama \u201cke\u201d dan \u201cdari\u201d. Walau bagaimanapun, kata kerja tidak transitif \u201cberasal\u201d tidak perlu diikuti oleh pelengkap jika maksudnya ialah \u201cberbangsa atau berketurunan baik-baik\u201d. Sila lihat contoh yang berikut:\n9a.\u00a0 Bendahara sememangnya berasal.\nAda juga sesetengah kata kerja tidak transitif yang dapat diikuti oleh klausa pancangan komplemen. Sila lihat contoh yang berikut:\n10a.\u00a0 Dia berpendapat bahawa dia betul.\n10b.\u00a0 Dia beranggapan bahawa tindakan itu tidak wajar.\n10c.\u00a0 Dia berpendirian bahawa budi bahasa amat penting.\n\u00a0\n11.\u00a0 Dia bercadang untuk ke Ipoh.\nDalam kelompok ayat 10, klausa pancangan komplemen bahawa dia betul, bahawa tindakan itu tidak wajar dan bahawa budi bahasa amat penting bagi menjadikan maksud ayat lengkap. Dalam ayat 11, klausa komplemen untuk (dia) ke Ipoh menjadikan maksud ayat lengkap.\nPelengkap juga meliputi frasa pancangan keterangan. Sila lihat contoh yang berikut:\n12.\u00a0 Dia berharap semoga kawannya berjaya.\nDalam ayat 12, klausa pancangan keterangan harapan semoga kawannya berjaya menjadikan maksud ayat lengkap.\nSelain pelengkap wajib, ada juga pelengkap yang tidak wajib. Sila lihat contoh yang berikut:\n13a.\u00a0 Dia bermain bola.\n13b.\u00a0 Dia bermain.\n\u00a0\n14a.\u00a0 Dia belajar muzik.\n14b.\u00a0 Dia belajar.\nBagi ayat kelompok 13 dan 14, pelengkap bola dan muzik menjadikan maksud ayat lebih khusus dan lebih jelas tetapi kehadirannya selepas kata kerja tidak transitif bersifat opsyenal.\nOleh sebab hubungan antara kata kerja tidak transitif dengan pelengkap amat rapat, kedua-duanya mesti dikedepankan bersama-sama dalam ayat songsang. Sila lihat contoh yang berikut:\n15a.\u00a0 Dia berbantalkan lengan.\n15b.\u00a0 Berbantalkan lengan dia.\n15c.\u00a0 *Lengan dia berbantalkan.\n\u00a0\n16a.\u00a0 Dia menjadi sihat.\n16b.\u00a0 Menjadi sihat dia.\n16b.\u00a0 *Sihat dia menjadi.\n\u00a0\n17a.\u00a0 Dia berpendapat bahawa dia betul.\n17b.\u00a0 Berpendapat bahawa dia betul dia.\n17c.\u00a0 *Bahawa dia betul dia berpendapat." "DBP Bantu TVS Perkasakan Penulisan Rencana dan Berita\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Penulisan rencana dan berita yang baik bukan sahaja akan meningkatkan imej wartawan itu sendiri, malah melibatkan imej seluruh organisasi. Oleh itu, kaedah atau teknik penulisan yang betul dapat digunakan oleh sesebuah stesen televisyen sebagai satu daripada cara mendorong para wartawannya berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam dunia kewartawanan, terutamanya dalam bidang penulisan.\nSehubungan dengan itu, bagi tujuan tersebut, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) dengan kerjasama TVS telah mengadakan Bengkel Penulisan Rencana dan Berita, khusus untuk wartawan di TVS. Tujuan bengkel ini diadakan sebagai satu daripada usaha untuk membantu memantapkan lagi teknik penulisan dalam kalangan wartawan di sini, melalui penggunaan bahasa kebangsaan dengan betul (ejaan dan tatabahasa) dan berkualiti, terutamanya dalam penyediaan teks untuk rencana dan berita.\nMelalui bengkel ini, para peserta dapat memahami teknik penulisan rencana dan berita dengan baik, seperti yang diamalkan oleh para pengamal media yang lain. Para peserta juga dapat menguasai cara menulis gaya rencana dan berita yang berkualiti sebagai bahan siaran, selain dapat merancang titik temu rencana atau berita yang akan muncul, serta bagaimana hasil penulisan itu dapat menarik perhatian masyarakat.\nBengkel selama sehari ini dibimbing oleh Encik Mohamad Faizal Jamil, Munsyi Dewan (Sastera), yang dibantu oleh Puan Intan Nur Izzati Shabri dari Unit Pembinaan Bakat, DBPCS.\nTVS (dahulunya\u00a0dikenali sebagai TV Sarawak) merupakan saluran televisyen linear yang menyediakan berita dan pengaturcaraan, khususnya dari wilayah Sarawak ke negeri lain di Malaysia. TVS dimiliki sepenuhnya oleh\u00a0Sarawak Media Group\u00a0(SMG) Sdn. Bhd., yang ditubuhkan secara rasmi pada 10 April 2018.\nKini saluran TVS boleh ditonton oleh masyarakat di seluruh negara menerusi saluran 122 di\u00a0myFreeview. Kesemua kandungan rancangan, format penyiaran dan pengaturcaraan saluran dikendalikan oleh pihak SMG sendiri. Atas keperluan inilah pihak TVS memerlukan sebuah program bimbingan penulisan, terutamanya yang melibatkan pelaporan rencana dan berita bagi tujuan siarannya, sama ada melalui televisyen atau media sosial.\nProgram ini juga merupakan susulan daripada kesinambungan kunjungan hormat Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBPCS kepada Encik Sarbini Haji Hamdan dan Encik Rizal Zulkapli, Ketua Pegawai Eksekutif SMG, pada 2 Disember 2022 yang lalu.\nPada masa akan datang, kedua-dua pihak akan terus merancang beberapa program kerjasama, terutamanya dari aspek penulisan, bahasa dan sastera. Dalam bengkel yang sama juga, beberapa buah novel karya penulis tempatan Sarawak turut diserahkan kepada pihak TVS untuk dipilih dan diangkat menjadi skrip drama atau filem sebagai bahan siaran untuk masyarakat." "Antara Kegramatisan dengan Kelaziman\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJalan bahasa yang baik ialah bentuk bahasa yang betul dan bermakna, iaitu ujaran atau penulisan yang dihasilkan harus menepati rumus tatabahasa, dan memenuhi keperluan semantik dan pragmatik.\u00a0Namun demikian, ada kalanya terdapat bentuk bahasa yang telah dilazimkan oleh masyarakat tetapi bercanggah dengan rumus tatabahasa.\nDari segi ejaan, ada sejumlah kata pinjaman yang masuk pada zaman awal pertembungan kita dengan dunia Barat yang lari daripada bentuk ejaan kini. Sila lihat contoh yang berikut:\n\u00a0\nJika kita meneliti senarai kata 1, kita tentu menyedari bahawa huruf vokal e pepet telah ditambah pada kata ekasuku untuk menjadikannya kata dwisuku kata. Dengan itu, bentuk konsonan rangkap (consonant cluster) telah dihilangkan, dan hal tersebut mungkin memudahkan penyebutan kata yang berkenaan. Namun demikian, kini kita sudah ada sejumlah kata ekasuku pinjaman yang dikekalkan gugus konsonannya. Contohnya ialah glic, glos, glu, gred, graf, plag, plak, stok, stor, klac, klik, klip, klu, blok, brek, trak, skru, dan kru.\nBagi kata pinjaman bampar dan baucar pula, bentuknya juga berbeza daripada yang lazim kita temukan. Sepatutnya ejaannya ialah bumper\u00a0dan vaucer, iaitu dieja secara grafemik dan fonemik, dan mengikut rumus pengejaan kata pinjaman. Hal ini dikatakan demikian kerana bunyi [u], e pepet dan [v] tidak asing lagi dalam bahasa Melayu sekarang.\nDari segi pengimbuhan, terdapat sejumlah kata yang tidak ditambah imbuhan pada kata dasar dengan mengikut rumus biasa. Sila lihat contoh yang berikut:\n\u00a0\nJika kita teliti senarai kata 3, kita mendapati kebanyakan kata dasar berpangkalkan huruf p\u00a0dan ditambah imbuhan mem-.-kan\u00a0atau mem-.i. Dalam hal ini, huruf p\u00a0pada awal kata dasar dikekalkan selepas ditambah imbuhan yang berkenaan.\u00a0Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana tidak mengikut rumus pengimbuhan biasa. Selain itu, suku kata pertama kata dasar yang berkenaan bukan imbuhan. Sebenarnya, kita sudah ada sejumlah kata yang hampir serupa yang mengikut rumus pengimbuhan yang betul.\u00a0Contohnya ialah kata memeriksa, memerintah, memerangkap, memenjarakan, memerihalkan, memeringkatkan, memerenggankan\u00a0dan sebagainya.\nBagi kata menternak\u00a0pula, bentuk yang mengikut rumus pengimbuhan ialah menernak. Hal ini dikatakan demikian kerana suku kata pertama kata dasar ternak\u00a0bukannya awalan teR-. Sila bandingkan bentuk menternak dengan bentuk menerkam, menerka, menerjah, menerjang, menerkap, menerpa\u00a0dan sebagainya yang mengikut rumus pengimbuhan yang betul.\nDari segi aspek sintaksis, ada juga bentuk yang mengikut kelaziman daripada kegramatisan. Sila lihat contoh yang berikut:\n5a. \u00a0Dia yakin bahawa dia tidak bersalah.\n5b. \u00a0Dia percaya bahawa dia telah menang.\n5c. \u00a0Dia sedar bahawa dia harus berusaha.\n\u00a0\nAyat kelompok 5 di atas merupakan ayat majmuk pancangan komplemen dengan kata adjektif. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap contoh ayat di atas mempunyai klausa bebas dan klausa komplemen. Selain itu, terdapat kata adjektif yakin, percaya\u00a0dan sedar\u00a0pada klausa bebasnya. Dari segi transformasinya, klausa komplemen dapat diganti dengan frasa nama seperti hal itu. Oleh itu, ayat kelompok \u00a05 sepatutnya dapat ditulis semula seperti yang berikut:\n6a. \u00a0*Dia yakin hal itu.\n6b. \u00a0*Dia percaya hal itu.\n6c. \u00a0*Dia sedar hal itu.\n\u00a0\nWalau bagaimanapun, kata adjektif seperti yakin, percaya\u00a0dan sedar\u00a0tidak boleh diikuti terus oleh frasa nama. Kita perlu ada sendi nama seperti akan, dengan\u00a0atau pada\u00a0sebagai kata perangkai atau pengantar objek. Oleh itu, bentuk yang betul ialah yang berikut:\n7a. \u00a0*Dia yakin akan/dengan hal itu.\n7b. \u00a0*Dia percaya akan/pada hal itu.\n7c. \u00a0*Dia sedar akan hal itu.\n8a. \u00a0*Dia yakin akan/dengan bahawa dia tidak bersalah.\n8b. \u00a0*Dia percaya akan/pada bahawa dia telah menang.\n8c. \u00a0*Dia sedar akan bahawa dia harus berusaha.\n\u00a0\nOleh itu, bentuk kelompok ayat 5 sebenarnya tidak mengikut rumus tatabahasa. Kalau kita menambah kata sendi nama seperti akan, dengan\u00a0atau pada\u00a0pada kelompok ayat 5 (lihat kelompok ayat 8), ayat yang terhasil terlalu janggal dan pelik bunyinya. Jalan keluarnya ialah kita menjadikan ayat kelompok 8 sebagai ayat majmuk dengan kata kerja transitif, seperti yang berikut:\n9a. \u00a0Dia meyakini bahawa dia tidak bersalah.\n9b. \u00a0Dia mempercayai bahawa dia telah menang.\n9c. \u00a0Dia menyedari bahawa dia harus berusaha.\n\u00a0\nKita tahu bahawa pelengkap mesti mengikut kata kerja tak transitif, baik dalam ayat susunan biasa, susunan songsang, ayat penyata atau ayat tanya. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n10a. \u00a0Dia tinggal di Taiping.\n10b. \u00a0Tinggal di Taiping dia.\n10b. \u00a0Tinggal di Taipingkah dia?\n10c. \u00a0*Tinggalkah di Taiping dia?\n10e. \u00a0*Tinggalkah dia di Taiping?\n\u00a0\nDalam kelompok ayat 10 di atas, pelengkap frasa sendi nama di Taiping\u00a0tidak boleh dipisahkan dari kata kerja tak transitif tinggal, tidak kira dalam ayat susunan biasa, susunan songsang, ayat penyata atau ayat tanya.\nWalaupun demikian, kita sudah terbiasa dengan bentuk yang berikut:\n11a. \u00a0Dia tahu tentang hal itu.\n11b. \u00a0Tahukah dia tentang hal itu?\n\u00a0\n12a. \u00a0Dia faham tentang hal itu.\n12b. \u00a0Fahamkah dia tentang hal itu?\n\u00a0\nSebenarnya ayat 11b dan 12b kurang sempurna dari segi struktur binaannya jika kita lihat dari dua sudut\u00a0yang\u00a0berikut:\n\u00a0\n\u00a0\nJadi, \u00a0bentuk yang betul ialah struktur ayat 13a dan 14a. Pilihan lain ialah kita menggunakan kata tanya adakah\u00a0untuk memelihara struktur binaan kata adjektif + sendi nama perangkai + frasa nama atau struktur kata kerja tak transitif + pelengkap frasa sendi nama (lihat ayat 13b, 13c, 14b dan 14c).\n13a. \u00a0Tahu tentang hal itukah dia?\n13b. \u00a0Adakah tahu tentang hal itu dia?\n13c. \u00a0Adakah dia tahu tentang hal itu?\n\u00a0\n14a. \u00a0Faham tentang hal itukah dia?\n14b. \u00a0Adakah faham tentang hal itu dia?\n14c. \u00a0Adakah dia faham tentang hal itu?\n\u00a0\nSebagi kesimpulannya, terpulanglah pada kita untuk mengekalkan bentuk yang lazim tetapi kurang tepat sebagai kecualian, atau kita membetulkan bentuk kata dan struktur ayat yang salah dengan menampilkan bentuk baharu yang betul. Sesungguhnya, yang penting bagi kita bukan setakat \u2018betulkan yang biasa, biasakan yang betul\u2019, tetapi \u2018betulkan yang salah, biasakan yang betul\u2019." "Pendigitalan Bahan Terbitan DBP dalam Bentuk Pertandingan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2212 Buat julung-julung kalinya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) melaksanakan satu projek rintis bersama melalui Pertandingan Inovasi, Digital DBP-UTHM, yang bertujuan untuk mendigitalkan bahan terbitan DBP ke dalam bentuk pertandingan. Pertandingan ini telah pun bermula pada 26 Oktober 2022 dan peringkat penjurian terakhir akan diadakan pada 29 Januari 2023 di Perpustakaan Tunku Tun Aminah, UTHM.\nSehubungan dengan itu, bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan dengan perkara ini, Program Canai Bahasa dan Sastera yang bertajuk \u201cInovasi, Bahasa dan Pendigitalan\u201d telah bersiaran langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 3.00 petang tadi.\nProgram ini telah dipengerusikan oleh Encik Rusdi Abd. Rahman, Perancang Bahasa, DBP, bersama-sama dua orang ahli panel jemputan, iaitu Prof. Ts. Dr. Hj. Mohd Farhan Md. Fudzee dan Prof. Madya Dr. Noorhaniza Wahid, yang merupakan pensyarah FSKTM, UTHM.\nMenurut Prof. Madya Dr. Noorhaniza, produk akhir pertandingan ini perlu dihasilkan dalam tempoh yang tidak terlalu singkat dan tidak terlalu lama untuk melihat hasil produk akhir sebagai penanda aras bagi keberhasilan bakat pelajar dan kejayaan program tersebut.\nProgram ini dilaksanakan dalam tempoh satu semester, iaitu selama 14 minggu dan hanya memfokuskan para pelajar tahun dua program Sarjana Muda Pengkomputeran Multimedia dengan Kepujian, yang mengambil Kursus Interaksi Manusia Komputer.\nPertandingan ini memerlukan para peserta membangunkan satu aplikasi mudah alih berasaskan kandungan buku terbitan DBP yang terpilih dan sesuai untuk dialih wahana ke dalam media digital. Penentuan kategori aplikasi mudah alih sama ada realiti terimbuh atau permainan digital dan penentuan mentor bagi pertandingan ini adalah secara undian.\nProf. Ts. Dr. Hj. Mohd Farhan pula menyatakan bahawa statistik pengguna internet di Malaysia memperlihatkan trend yang sangat positif. Oleh itu, pendigitalan bahan bahasa dan sastera yang menarik seperti melalui animasi dan permainan mudah alih dapat menarik generasi kini untuk mengakses bahan tersebut.\nBagi Prof. Madya Dr. Noorhaniza, generasi pada masa ini lebih gemar kepada kandungan yang ringkas dan padat. Justeru, kandungan video yang berdurasi pendek seperti Tik Tok menjadi keterujaan untuk ditonton.\nMenerusi program itu juga, Prof. Ts. Dr. Hj. Mohd Farhan mencadangkan satu cara bagi menggalakkan masyarakat\u00a0 menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul, iaitu dengan mewujudkan cabaran secara terbuka untuk mencari ikon bahasa di platform digital media sosial. Hal ini kerana generasi muda suka akan cabaran dan meraih \u201clike\u201d dan pengikut di media sosial mereka.\nBeliau turut menyatakan bahawa buku bercetak yang telah mencapai usia beratus tahun perlu mempunyai salinan pendua dan didigitalkan.\u00a0 Hal ini bagi menjamin kelangsungan kandungan bahan tersebut dan boleh dijadikan sebagai rujukan kepada generasi muda pada masa akan datang.\nBuku bercetak yang telah beratus tahun umurnya perlu ada salinan pendua, setidak-tidaknya dalam bentuk dokumen elektronik. Perlu ada salinan penuh kerana buku tersebut adalah ilmu. Ilmu ini tanggungjawab kita sebagai manusia yang perlu disebarkan." "Menggali Ilmu Penulisan Skrip Drama Radio di KELANTANfm\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKelantan \u2212 Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dengan kerjasama Jabatan Penyiaran Kelantan telah berjaya menganjurkan Taklimat Penulisan Skrip Drama Radio dan Rancangan Radio KELANTANfm di Auditorium Titian Murni, Jabatan Penyiaran Kelantan.\nSebanyak 24 orang penulis kelahiran Kelantan termasuklah penulis seperti Hashim Latiff, Mukhtar Mustafa, Ramli Abdul Halim, Abdul Hadi Yusoff, dan Dr. Abdullah Yusoff\u00a0 telah menghadiri taklimat ini yang bertujuan untuk memberikan ruang dan peluang kepada penulis di Kelantan mencurahkan idea dalam bidang penulisan skrip drama radio yang semakin dilupakan, terutamanya di Stesen Radio KELANTANfm.\nRancangan drama radio ini tercetus selepas kunjungan hormat pertama DBPWT ke Jabatan Penyiaran Kelantan pada 5 Disember yang lepas. Pada pertemuan yang lalu, kedua-dua pihak bersepakat untuk mengangkat semula bidang bahasa dan sastera menerusi medium penyiaran supaya penerimaan oleh masyarakat lebih menyeluruh.\nPengarah DBPWT, Ariza Che Ismail dalam ucapannya berkata:\nSemoga ruang ini mampu mendidik minat anak-anak muda kita untuk melahirkan idea mereka menerusi genre drama radio dan seterusnya melahirkan barisan penulis dan penggiat sastera yang lebih banyak di negara kita.\nTerdapat empat rancangan yang telah dipersetujui dan akan dilaksanakan yang bermula pada tahun ini. Antaranya termasuklah Seloka Bersahut yang diterbitkan oleh Hazilah Hashim. Rancangan ini menggunakan dialek Kelantan sepenuhnya dan berlangsung selama 30 minit bagi setiap sesi. Tajuk ditentukan oleh pihak penerbit. Pengisian skrip rancangan pula ditambah baik oleh Sumardi [email\u00a0protected] atau lebih dikenali sebagai DJ Pakdo.\nRancangan kedua pula berbentuk drama daerah yang bertajuk Abang Pa Kereta Plat. Rancangan ini diterbitkan oleh Haslina Hamzah atau lebih dikenali sebagai DJ Kak Ngoh. Isu yang dikemukakan bagi setiap episod haruslah isu semasa dan mengandungi unsur jenaka. Abang Pa merupakan watak utama dalam rancangan ini dan watak sampingan, iaitu Mek Moh merupakan isteri Abang Pa dan watak Mek Ani turut ditambah untuk mewarnai jalan cerita drama ini. Drama mingguan ini disiarkan selama 15 minit pada setiap hari Jumaat, pukul 5.30 petang melalui siaran KELANTANfm.\nDi samping itu, penerbit yang sama, iaitu Haslina Hamzah turut menerbitkan drama khas yang berdurasi selama 30 minit. Drama khas ini bakal disiarkan pada Hari Raya Aidilfitri Hari Raya Aidiladha, Hari Kebangsaan dan pada hari istimewa sahaja. Jalan cerita drama khas ini bergantung pada kesesuaian peristiwa yang berlaku.\nRancangan keempat yang dilaksanakan ialah dokumentari radio. Dokumentari radio melibatkan isu dan peristiwa semasa sahaja. Rancangan ini bersiaran selama 30 minit dan diterbitkan oleh Mohamad Sukri Ismail. Dokumentari merupakan filem realiti yang digambarkan oleh sesuatu perkara dan diterapkan menerusi visual atau teksnya.\nSeterusnya, rancangan Cahaya Ramadan pula diterbitkan oleh Mohd Sidik Abdullah atau lebih dikenali sebagai DJ Abe Dik. Rancangan ini akan berlangsung selama 30 minit sepanjang bulan Ramadan, bermula pada pukul 5.30 petang. Rancangan ini berkonsepkan kerohanian yang menerapkan nilai murni kepada pendengar, bersesuaian dengan tema pada bulan tersebut. Rancangan ini juga akan menyiarkan tajuk yang berbeza pada setiap hari. Teknik penceritaan yang akan digunakan dalam rancangan ini ialah penceritaan suara latar.\nMelalui program rangkaian seperti ini, jaringan kerjasama antara DBPWT dengan Jabatan Penyiaran Kelantan diharapkan terus utuh sehingga ke akar umbi. Program ini juga mampu membakar semangat dan menarik lebih banyak penulis kelahiran Kelantan untuk berkarya dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan khususnya dialek Kelantan." "DBP akan Menganjurkan Semula Bahas Piala Premier Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2212\u00a0Yang Berhormat (YB) Puan Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia telah mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Amat Berhormat (YAB) Tan Sri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg, Premier Sarawak di Wisma Bapa, Kuching, Sarawak pada 27 Januari 2023. Yang turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Yang Berhormat Datuk Roland Sagah Wee Inn, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak.\nKunjungan ini merupakan sebahagian daripada jadual lawatan rasmi YB Menteri Pendidikan ke Sarawak setelah dilantik untuk menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Semalam rombongan YB Menteri Pendidikan berada di Bandaraya Miri, Sarawak dan telah mengadakan lawatan ke beberapa buah sekolah di bandar raya tersebut.\nPertemuan tersebut turut dihadiri oleh Yang Berbahagia (YBhg.) Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Norisah Suhaili, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), dan YBrs. Datu Dr. Azhar Ahmad, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.\nDalam perkembangan yang sama, menjawab soalan pihak media selepas selesai pertemuan dengan YAB Premier Sarawak, YB Puan Fadhlina memaklumkan bahawa antara perkara yang telah dibincangkan dalam pertemuan tersebut termasuklah agenda untuk memperkukuh sistem pendidikan negara, isu pembangunan sekolah daif dan mendengar pengalaman Sarawak dalam mengekalkan perpaduan kaum di negeri ini.\nSelain itu, beliau juga memaklumkan bahawa YAB Premier Sarawak bersetuju supaya Bahas Piala Premier Sarawak dianjurkan semula oleh DBP bagi memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan murid sekolah dan memperkukuh perpaduan di Sarawak.\nMenyentuh tentang autonomi pendidikan, beliau memaklumkan bahawa perkara tersebut ada dibangkitkan dalam pertemuan tersebut. Beliau turut berharap agar KPM dan Kerajaan Negeri Sarawak akan berjalan seiring dalam hal pendidikan khususnya dalam pelaksanaan program-program di Sarawak." "Mengasah Kemahiran Bahasa dan Mencungkil Bakat Editor Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu \u2013 Bengkel Umum Perolehan Majalah e-Wadah dan Asas Penyuntingan Gaya Dewan telah dilaksanakan dengan jayanya oleh Unit Penerbitan (UP), Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) semalam. Bengkel ini merupakan hasil kerjasama antara pihak DBPCS dengan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), Universiti Malaysia Sabah (UMS).\nBengkel yang dihadiri oleh 43 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Tahun 3 Program Seni Kreatif Major Penulisan ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada bakal editor mengenai aspek bahasa dalam penulisan dan penyuntingan Gaya Dewan, di samping berkongsi maklumat mengenai peluang penerbitan di DBPCS.\u00a0\nPenyunting atau editor merupakan orang tengah antara penulis dengan pembaca. Sesuatu karya yang dianggap biasa akan tampil hebat jika manuskrip tersebut ditangani oleh editor yang berilmu tinggi serta berpengalaman luas dalam dunia penyuntingan dan penerbitan. Peranan editor dalam bidang penerbitan bukan sekadar menguasai aspek bahasa dalam penulisan, tetapi membantu menghasilkan karya yang bermutu serta mempunyai kebolehpasaran yang tinggi.\nSemua peserta bengkel ini terdiri daripada bakal editor yang berhasrat untuk memantapkan lagi kemahiran bahasa dan ilmu penyuntingan. Minat dan iltizam yang ditunjukkan oleh mereka menggambarkan bahawa nilai bahasa dan ilmu penyuntingan dalam kalangan generasi muda di negara ini masih mendapat sambutan yang positif.\nKetua UP, DBPCS, Puan Noorzanani Haji Kata telah memberikan Taklimat Umum Penerbitan dan ceramah bahasa yang bertajuk \u201cAspek Bahasa dan Penulisan: Betulkan yang Biasa, Biasakan yang Betul\u201c.\nTatabahasa merupakan salah satu aspek yang dititikberatkan dalam dunia penyuntingan. Justeru, bakal editor perlulah melengkapkan diri dengan pengetahuan bahasa dan menguasai sistem bahasa yang betul.\nSesi kedua bengkel yang bertajuk \u201cAsas Penyuntingan Gaya Dewan\u201c pula disampaikan oleh Puan Azrin Eddy. Para peserta diberi pendedahan mengenai asas penyuntingan dan persediaan yang perlu dilakukan sebelum membuat kerja penyuntingan. Praktikal penyuntingan turut dijalankan agar peserta bengkel dapat mengaplikasikan teknik penyuntingan yang betul.\nBakal editor juga diingatkan supaya menggunakan sumber bahan rujukan yang autentik untuk memastikan ketepatan fakta sesebuah karya sebelum dihantar untuk proses penerbitan yang seterusnya. Hal ini dikatakan demikian kerana editor bertanggungjawab untuk membuat pengesahan fakta agar tidak menyebarkan maklumat yang salah kepada pembaca. Oleh itu, DBPCS melihat kerjasama ini sebagai satu langkah untuk memastikan bakal editor membuat persediaan yang rapi sebelum melakukan kerja penyuntingan." "Bahasa dalam Komunikasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBahasa sangat penting dalam kehidupan seharian manusia. Dengan bahasa yang tersusun dan indah, keharmonian boleh dicapai dan disemarakkan dalam masyarakat. Dalam hal ini, kesantunan berbahasa ialah perkara utama yang perlu dititikberatkan. Antara ciri kesantunan ini termasuklah cara dan bentuk bahasa yang digunakan oleh seseorang dengan sopan, dan bertimbang rasa. Contohnya, bahasa yang digunakan untuk menolak permintaan seseorang tanpa mengecilkan hatinya. Penggunaan bahasa sapaan lisan atau bertulis yang mempunyai elemen sopan santun ini dapat mengelakkan seseorang itu dianggap sebagai biadap atau tidak berbudi bahasa.\nBudi merupakan tingkah laku individu yang baik, sopan santun, berakhlak terpuji dan berwatak insan mulia, serta mempunyai akal fikiran yang baik dan bijaksana. Bagi masyarakat Melayu, kata \u201cbudi\u201d itu membawa pelbagai maksud. Antaranya termasuklah jasa dan sumbangan yang diberikan kepada individu yang lain. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, budi bahasa merangkumi pekerti, akhlak, watak dan kelakuan yang baik, sopan, pemurah dan sebagainya yang dikenali sebagai nilai murni. Budi bahasa penting bagi menjamin keharmonian bangsa yang pelbagai kaum. Oleh itu, kerajaan menganjurkan kempen \u201cBudi Bahasa Amalan Kita\u201c.\nKomunikasi seharian dengan menggunakan bahasa secara sopan dan beradab dikenali sebagai kesantunan berbahasa. Kesantunan berbahasa bermaksud kesopanan dan kehalusan ketika menggunakan bahasa, baik dalam bentuk lisan atau tulisan. Kesantunan berbahasa dari segi verbal merujuk percakapan, lisan dan pertuturan. Kesantunan berbahasa verbal perlu sentiasa ditonjolkan, terutamanya ketika bercakap dengan orang lain, bergurau senda dengan rakan, menyampaikan maklumat, bertanyakan sesuatu, dan membuat pembentangan kepada khalayak umum.\nSecara ringkasnya, konsep kesantunan berbahasa verbal merujuk semua aspek komunikasi secara lisan. Contohnya, melalui media massa, seperti radio, televisyen dan internet, pengucapan awam dan ceramah, seminar serta sesi ucapan. Semua contoh ini menuntut penuturnya agar menggunakan bahasa yang sopan santun ketika menyampaikan sesuatu. Dalam masyarakat Melayu, kesantunan berbahasa sangat penting kerana bahasa melambangkan kehalusan budi, kesopanan, dan tingkah laku penutur dan masyarakat bahasa tersebut. Contohnya, mengutamakan untuk bertanya khabar apabila bertemu sahabat lama atau memberikan salam apabila bertemu dengan sahabat handai atau orang yang lebih tua sebagai tanda menghormati orang lain.\nSelain kesantunan verbal, kesantunan nonverbal juga perlu dititikberatkan. Kesantunan nonverbal ini ialah komunikasi bahasa tanpa kata atau dikenali sebagai bahasa tubuh dengan cara beradab dan sopan. Bahasa tubuh ialah proses pertukaran fikiran dan idea apabila mesej disampaikan melalui isyarat, ekspresi wajah, pandangan mata, sentuhan dan gerakan tubuh. Konsep kesantunan berbahasa ini, sama ada secara verbal atau nonverbal, perlu ada pada diri setiap insan. Konsep kesantunan berbahasa nonverbal ini merujuk semua perlakuan yang tidak menggunakan bahasa lisan untuk menyampaikan mesej yang dapat difahami.\nBahasa tubuh, ekspresi wajah yang merangkumi hubungan mata memainkan peranan yang sama penting untuk melestarikan konsep kesantunan nonverbal. Ekspresi muka dapat menjadi sumber informasi yang menggambarkan keadaan emosi seseorang, seperti perasaan takut, marah, jijik, muak, sedih, dan gembira. Melalui ekspresi muka, seseorang itu dapat mengetahui perasaan orang lain. Melalui mata pula, seseorang itu boleh mengetahui sikap orang lain. Contohnya, mata menggambarkan sama ada seseorang itu bersiap sedia untuk berinteraksi dan begitu juga sama ada seseorang itu memberikan perhatian terhadap penutur atau tidak.\nKesantunan bahasa ini boleh diaplikasikan dalam upacara khusus bagi menyemai dan menyemarakkan budaya berbahasa. Antaranya termasuklah melalui pertandingan pengucapan awam, seperti debat, forum, dan pidato. Debat ialah kaedah rasmi untuk berinteraksi bagi mewakili perbincangan. Debat ialah bentuk yang lebih luas bagi sesebuah perbincangan berbanding dengan perbincangan secara logik. Hal ini dikatakan demikian kerana debat merangkumi pujukan yang memberikan penekanan terhadap tindak balas emosi pendengar. Debat juga mempunyai peraturan yang membolehkan pesertanya berbincang dan memutuskan hal tentang perbezaan dalam rangka yang menentukan cara berinteraksi. Debat tidak rasmi ialah suatu yang normal. Kualiti debat meningkat seiring dengan pengetahuan dan kemahiran pendebat.\nDi samping itu, forum juga menarik untuk dipersembahkan. Forum merujuk perjumpaan untuk perbincangan terbuka tentang perkara yang menjadi kepentingan awam. Tempat forum boleh sahaja secara fizikal atau maya. Di tempat inilah peserta akan bertemu dan seterusnya bertukar idea serta pengalaman menerusi pelbagai topik.\nPidato pula ialah syarahan tentang tajuk tertentu yang disampaikan oleh pemidato kepada masyarakat umum. Pidato mengandungi pendahuluan, isi, dan penutup. Tujuan pidato adalah untuk menyampaikan idea berkenaan dengan sesuatu isu kepada hadirin, dan pada masa yang sama meyakinkan hadirin melalui cara pembawaan pidato. Oleh itu, pemidato mestilah memahami tujuan pidato ini terlebih dahulu.\nKesimpulannya, bahasa berperanan penting dalam penyampaian sesuatu mesej penting, sama ada dalam bentuk lisan ataupun bukan lisan. Hal ini perlu dititikberatkan oleh semua lapisan masyarakat kerana perkara yang dianggap sebagai kecil, seperti bahasa badan yang endah tak endah boleh menghancurkan ukhuwah yang terbina bertahun-tahun lamanya. Tuntasnya, didikan bahasa ini perlu dihayati dan diamalkan oleh setiap masyarakat yang inginkan perdamaian dalam perhubungan agar suasana harmoni boleh terus disemai dan disemarakkan." "Peribahasa Pagi dan Ceria Bahasa di Radio KELANTANfm\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKota Bharu \u2013 Kini pada setiap hari Isnin dan Rabu, pada pukul 8.10 pagi, pendengar dan pelayar Radio Malaysia KELANTANfm berpeluang mengikuti rancangan Peribahasa Pagi dan Ceria Bahasa. Kedua-dua rancangan ini adalah usaha sama antara Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dan Jabatan Penyiaran Negeri Kelantan. Objektif rancangan ini adalah untuk memberikan maklumat penggunaan bahasa yang betul dari segi ejaan, istilah, kata dan makna. Menerusi segmen Peribahasa Pagi, para pendengar dan pelayar radio dapat memahami makna sesebuah peribahasa dan konteks penggunaannya yang sesuai.\nMenurut Puan Ariza Che Ismail, Pengarah DBPWT, program di media elektronik dan media baharu seumpama ini wajar diadakan secara berterusan lantaran dewasa ini masyarakat kita khususnya generasi muda cenderung menggunakan bahasa yang salah dan pada masa yang sama mereka menganggap penggunaan bahasa tersebut betul.\nSituasi ini kerap berlaku sama ada dalam komunikasi atau penulisan. Begitu juga dengan penggunaan ungkapan umum popular yang dianggap sebagai peribahasa turut digunakan secara meluas terutamanya di platform media baharu. Kelaziman yang dianggap betul ini tidak boleh dibiarkan kerana akan merosak imej bahasa kebangsaan.\nKedua-dua rancangan ini oleh juruhebah radio secara santai bersama-sama pendengar Radio KELANTANfm (secara interaktif melalui panggilan telefon). Sepanjang bersiaran pada Januari 2023, rancangan ini mendapat rating panggilan pendengar yang memberangsangkan serta berjaya mewujudkan ruang perbincangan dan perkongsian bahasa yang santai tetapi berinformasi.\nBegitu juga dengan perkongsian dan komen di ruangan media sosial serta aplikasi WhatsApp, jumlahnya semakin meningkat setiap kali program ini bersiaran. Ada di antara mereka yang telah mula menggunakan perkhidmatan Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) untuk membuat rujukan bagi mendapat jawapan yang tepat ketika kedua-dua rancangan tersebut bersiaran. Perkembangan positif ini dilihat dapat mengembangkan lagi mutu penggunaan bahasa kebangsaan.\nPendengar atau pelayar di Malaysia atau seantero dunia boleh mengikuti rancangan ini melalui http://rtmklik.rtm.gov.my, radio negeri KELANTANfm." "DBPWT Rintis Kerjasama Baharu dengan JPPM Kelantan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Buat julung-julung kalinya, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri Kelantan (JPPM Kelantan). Kunjungan Puan Ariza Che Ismail, Pengarah DBPWT itu disambut baik oleh Puan Dalila Diana Mohd Zaid, Pengarah JPPM Kelantan, serta beberapa orang pegawai daripada kedua-dua agensi tersebut.\nKerjasama yang bakal dirintis adalah untuk mendekatkan pertubuhan atau badan bukan kerajaan (NGO) dengan fungsi kedua-dua agensi ini, iaitu menjadikan setiap pertubuhan sebagai sebuah pertubuhan yang berkualiti, dan pada masa yang sama, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berusaha menarik penyertaan pelbagai NGO untuk bersama-sama mengambil peranan dalam memartabatkan bahasa kebangsaan. Hasrat tersebut bakal direalisasikan menerusi program Wacana 152, yang dijangka akan diadakan pada 11 Mac 2023, dengan sasaran penyertaan sebanyak 500 orang ahli NGO di negeri Kelantan.\nMenurut Puan Ariza Che Ismail, peranan NGO dalam menyantuni masyarakat sememangnya tidak boleh dinafikan. Banyak sumbangan dan peranan yang diberi oleh mereka termasuklah di sektor kerajaan, apatah lagi sekiranya sesebuah pertubuhan tersebut dikategorikan sebagai sangat berpengaruh dengan jumlah ahli dan pengikut yang banyak. DBP melihat kesepaduan tenaga, idea dan peranan NGO tersebut akan membugarkan lagi martabat bahasa kebangsaan. Bahasa Jiwa Bangsa." "Pertandingan Inovasi dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu Menjentik Minat Guru\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJelutong \u2013 Kolej Vokasional Batu Lanchang telah dipilih menjadi tuan rumah bagi satu program, iaitu \u201cI\u2019ll Look\u201c yang dikendalikan oleh Kumpulan Pengurusan Timbalan Pengarah Akademik Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik (KVSMT), Zon Pulau Pinang. Sebanyak 18 orang guru Bahasa Melayu telah dipilih bagi mewakili KVSMT masing-masing untuk sama-sama turun padang bagi mengutip dan menimba ilmu pengetahuan tentang cara memulakan langkah dalam menyertai pertandingan inovasi sama ada pada peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa.\nPerkongsian ilmiah ini dipimpin dan disampaikan oleh Puan Nurul Aini Mohd Yunus, yang dijemput khas dari Kolej Vokasional Batu Lanchang untuk berkongsi ilmu, bercerita tentang kaedah dan cara memulakannya untuk melibatkan diri dalam pertandingan penuh berprestij ini terutama dalam kalangan guru Bahasa Melayu KVSMT, Zon Pulau Pinang.\nMenurut kaca mata pelbagai pihak, banyak hal inovasi yang masih tidak diambil peduli dan tidak diketahui oleh masyarakat terutamanya oleh para guru sebagai penggerak kemajuan kaedah pembelajaran pada zaman sekarang. Begitu juga dengan kurangnya penyertaan dalam pertandingan inovasi dalam kalangan guru Bahasa Melayu di KVSMT, Zon Pulau Pinang.\nGuru-guru yang berdaya saing untuk memartabatkan inovasi dalam pendidikan merupakan tunjang utama bagi institusi tersebut. Menurut Puan Nurul, untuk menyertai pertandingan inovasi tidaklah sukar. Hanya berbekalkan idea, kudrat dan semangat serta sokongan kuat daripada kumpulan pengurusan institusi masing-masing sudah cukup untuk terus mencurahkan bakti dengan mempelbagaikan produk inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu, khasnya.\nTerdapat lima perkara wajib yang perlu diketahui oleh para guru dalam memulakan langkah untuk menyertai pertandingan inovasi. Antaranya termasuklah bayaran yuran pertandingan, syarat penyertaan, tarikh akhir penghantaran, projek yang dilaksanakan serta peringkat pertandingan yang disertai. Justeru, bayaran yuran merupakan elemen yang paling penting yang patut dikuasai oleh guru.\nDalam pertemuan ilmiah ini, Puan Nurul juga telah berkongsi tentang tatacara dan etika yang betul dalam mendapatkan sumber kewangan untuk penyertaan inovasi kategori profesional dan pelajar. Hal ini telah membuka mata para guru yang hadir berkenaan dengan perolehan kewangan tersebut kerana urusan inilah yang sentiasa menjadi tanda tanya para guru.\nPerkongsian ilmiah ini juga dilihat dapat memberikan galakan dan semangat kepada para guru Bahasa Melayu yang hadir untuk turut serta dalam pertandingan inovasi peringkat antarabangsa. Guru-guru yang hadir diharapkan merebut peluang yang sentiasa terbuka luas agar dapat menambah nilai serta melebarluaskan pengalaman dan bakat masing-masing yang terpendam sekian lama.\nMenurut Pengerusi KVSMT, Zon Pulau Pinang, iaitu Ts. Haji Nazhar Kader Bawa, inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran tidak terhad hanya kepada guru-guru bahagian kemahiran sahaja malah guru dalam bidang aliran akademik juga mempunyai kualiti yang sangat cemerlang apabila mula mengorak langkah dalam membudayakan inovasi.\nBeliau juga berharap agar para guru Bahasa Melayu yang hadir tampil menyerlahkan diri masing-masing demi kemajuan pelajar dalam pelajaran dengan membudayakan inovasi. Beliau turut merasmikan penutupan Majlis Perkongsian Ilmiah Pembudayaan Inovasi dalam Mata Pelajaran Akademik Bahasa Melayu Peringkat KVSMT, Zon Pulau Pinang." "Bahasa Melayu Gah di Bumi Australia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAUSTRALIA \u2212 Satu perkongsian yang luar biasa dan berjaya mempertautkan hubungan silaturahim antara kalangan insan dari negara serumpun, sesuai sekali dengan judulnya \u201cBila Rumpun Bertemu Rumpun\u201d. Demikianlah program yang dilaksanakan oleh NIZAL & Co dan Radio Melayu Perth, Australia Barat, telah bersiaran secara langsung pukul 8.30 malam (waktu di Perth, Malaysia dan Singapura). Dalam program tersebut, Nizal telah berkongsi pelbagai pengalamannya bersama-sama DJ Wan (Mohammad) dan DJ Foz (Ahmad Fauzi bin Abdullah), iaitu pengacara radio bagi Radio Melayu Perth.\n\nPendekatan Radio Melayu Perth tersebut mengenai perkongsian pelbagai ilmu dalam komuniti Melayu di Australia yang menggunakan bahasa Melayu. Radio ini digerakkan oleh sukarelawan selama 30 tahun yang lalu, iaitu bermula pada tahun 1990. Siaran radio ini merupakan satu-satunya siaran radio berbahasa Melayu di Australia.\nSelain itu, radio ini juga bersiaran untuk memastikan bahasa Melayu tidak lenyap di bumi Australia. Pengisian radio ini meliputi perkongsian pengalaman, pengetahuan dan inisiatif pelbagai bidang ilmu dalam komuniti penduduk Melayu Australia dengan menggunakan bahasa Melayu.\nSelain usaha untuk memantapkan lagi iltizam dan hubungan antara negara rumpun dengan pelbagai perkongsian ilmu dalam meluaskan gagasan pentas siaran berbahasa Melayu, pihak tersebut juga menggalakkan lebih banyak penyertaan mana-mana radio mahupun televisyen secara dalam talian yang sejiwa dan sealiran.\n\u201cMasyarakat bukan Melayu dari pelbagai negara masih banyak yang berkecenderungan untuk belajar bahasa Melayu. Mereka meminati Malaysia dari segi bahasa dan budaya Malaysia. Sebagai contoh, ada kumpulan penyanyi dari Korea yang amat meminati budaya dan bahasa Melayu sehingga mereka menyanyikan lagu-lagu pop Korea dalam bahasa Melayu. Mereka berusaha untuk belajar bahasa Melayu. Yang menariknya, mereka boleh menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu dengan baik sekali walaupun ada sedikit pelat.\u201d\nItulah antara perkongsian menarik bersama-sama Nizal yang berinisiatif dan berharap agar banyak peluang dapat dibuka kepada pelbagai pihak untuk saling bekerjasama dan menyokong pelbagai idea bagi memajukan radio yang bersiaran dalam bahasa Melayu serta meluaskan penggunaan bahasa Melayu tanpa sempadan." "Nilai Komersial Mendorong Penutur Asing Mempelajari Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bahasa bukan sekadar menjadi alat yang menyatukan masyarakat majmuk dalam sesebuah negara. Kegemilangan bahasa Melayu pada suatu ketika dahulu sehingga diangkat menjadi lingua franca membuktikan bahawa bahasa Melayu merupakan satu daripada bahasa di dunia yang mudah untuk dipelajari baik dari sisi penutur jati mahupun penutur asing.\nMenyentuh perihal penguasaan bahasa Melayu sebagai alat penghubungan, siri rancangan Cakna Bahasa anjuran BERNAMA Radio telah menampilkan Dr. Mardian Shah Omar, untuk mengupas topik \u201cBahasa Melayu untuk Pelancong\u201d. Beliau merupakan Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dan juga penulis buku Bahasa Melayu untuk Pelancong terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nDr. Mardian memulakan bicara dengan berkongsi pengalamannya berkenaan dengan proses menghasilkan buku Bahasa Melayu untuk Pelancong. Pengalamannya mengendalikan pelajar dan penutur asing dari pelbagai negara melalui pengajaran menguasai bahasa Melayu pada suatu ketika dahulu menjadi titik permulaan dirinya terinspirasi untuk menghasilkan sebuah buku panduan berbahasa Melayu.\nSebagaimana ujar beliau, \u201cBerdasarkan pengalaman, saya mendapati bahawa penutur asing jika datang ke negara asing seperti Malaysia, mereka gemar untuk melancong sekali gus memahami budaya dan bahasa. Hal ini menggerakkan hati saya dan sangat menarik jika kita mampu menghasilkan sebuah buku untuk pelancong asing sebagai panduan kepada mereka ketika melancong di Malaysia. Mereka boleh membaca dan menggunakannya untuk berkomunikasi dengan orang tempatan\u201d.\nSementara itu, beliau turut menegaskan bahawa kandungan buku Bahasa Melayu untuk Pelancong terbina dengan bahasa yang santai dan tidak mengandungi dialek. Hal ini demikian kerana tujuan utama penghasilan buku tersebut adalah untuk melahirkan penutur baharu bahasa Melayu, dan pada masa yang sama dapat memudahkan penutur asing untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan cara yang tepat.\nBeliau juga menjelaskan bahawa kebolehan menguasai pelbagai bahasa bukanlah sesuatu hal yang mustahil asalkan seseorang itu mempunyai minat untuk mempelajarinya.\nSemasa di ATMA, Universiti Kebangsaan Malaysia, saya mengajar pelajar yang memang meminati bahasa Melayu. Mereka datang untuk belajar bahasa Melayu. Tidak ada masalah dan mereka memang gemar belajar bahasa Melayu. Kita boleh memberikan apa-apa sahaja kepada mereka dan mereka akan berasa seronok untuk menerimanya.\nBeliau turut berkongsi kandungan buku Bahasa Melayu untuk Pelancong. Antara yang menarik termasuklah sewaktu mereka (pelancong) tiba di lapangan terbang dan kemudian ketika mahu mendapatkan teksi untuk pergi ke hotel. Contohnya, untuk bertanya tentang tempahan bilik yang telah dibuat, bagaimana untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain, bagaimana untuk bertanyakan arah dan sebagainya. Panduan dalam buku ini memudahkan mereka untuk bertanya.\nTambah beliau, dalam buku ini juga terkandung kata sapaan dan kata tanya yang pelbagai, yakni dilihat dapat memenuhi keperluan seorang penutur asing yang ingin menggunakan bahasa Melayu untuk berkomunikasi dengan orang tempatan sewaktu datang ke Malaysia.\nDari segi fizikal, buku Bahasa Melayu untuk Pelancong juga mudah dibawa ke mana-mana sahaja, yakni nipis dan dapat memberikan panduan kepada pelancong asing untuk pergi ke tempat-tempat tertentu. Selain itu, DBP turut membantu menerbitkan DVD interaktif berdasarkan buku tersebut, iaitu sebuah DVD interaktif yang lebih menarik.\nSementara itu, beliau turut menyarankan kepada tenaga pengajar dan guru bahasa Melayu yang mendidik penutur asing berbahasa Melayu agar mengetahui latar belakang bahasa ibunda pelajar asing yang menuntut ilmu dengan mereka. Hal ini demikian kerana kecelaruan pemahaman nahu di antara bahasa ibunda penutur asing dengan bahasa Melayu boleh menyebabkan proses penafsiran makna yang tidak tepat.\nUntuk tenaga pengajar, penting untuk mereka mengetahui tentang latar penutur asing. Sebagai contoh, jika mereka menggunakan bahasa Inggeris, maka seorang guru bahasa Melayu perlu tahu struktur dan tatabahasa bahasa Inggeris. Melalui cara ini, guru tersebut boleh menitikberatkan bentuk pengajaran yang lebih berkesan agar pelajarnya tidak melakukan kesilapan ketika berbahasa Melayu. Kalau tidak, mereka akan cenderung melakukan direct translation.\nBeliau juga menegaskan bahawa bahasa Melayu merupakan satu daripada bahasa di dunia yang paling mudah untuk dipelajari berbanding dengan bahasa lain seperti bahasa Mandarin yang mempunyai irama yang membezakan makna atau bahasa Siam dan bahasa Arab yang mempunyai gender.\nTambah beliau lagi, apabila penutur asing itu sudah ada kosa kata bahasa Melayu, dan tahu cara penggunaan bahasa itu, maka mereka akan menyatakan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa yang mudah untuk dipelajari. Disebabkan hal itu, kita juga boleh melihat banyak orang asing mula menguasai bahasa Melayu. Contohnya, orang Bangladesh, Myanmar dan Nepal yang datang ke Malaysia mudah menguasai bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, mereka tidak menguasai kemahiran bahasa Melayu dari segi penulisan tetapi lebih kepada apa-apa yang mereka dengar dan cuba untuk digunakan semula.\nPerkara penting yang perlu diketahui umum, bahasa Melayu mempunyai nilai komersialnya yang tersendiri. Contohnya, pada hari ini banyak pempengaruh yang terdiri daripada penutur asing mula mempelajari bahasa Melayu semata-mata untuk menjadi terkenal dan menjadikan penguasaan bahasa Melayu sebagai mata pencarian mereka di Malaysia. Bahkan di negara China pada waktu ini, terdapat 15 buah universiti yang menawarkan Program Pengajian Bahasa Melayu dan bahasa Melayu menjadi keutamaan mereka. Yang lebih menariknya, mereka bukan mempelajari bahasa Melayu di Indonesia tetapi bahasa Melayu di Malaysia." "Wabak Buta Huruf: Tanggungjawab atau Bebanan?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nFilem Pendekar Bujang Lapok, arahan Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1959 mengingatkan kita pada satu babak, iaitu ketika watak tiga orang sahabat baik yang dilakonkan oleh P. Ramlee, S. Samsudin dan Aziz\u00a0Sattar\u00a0pergi ke Sekolah Umum Buta Huruf untuk belajar mengeja dan membaca tulisan Jawi dengan Cikgu Ros. \u201cMatanya satu ya,\u00a0cikgu.\u00a0Ada ekor, atas tanah, arr..\u00a0huruf mambang tanah\u201d disertai dengan gelak tawa rakan sekelas. Watak ini dipersembahkan dalam bentuk humor tetapi punya makna tersirat.\nApabila menonton filem tersebut, Seniman Agung\u00a0Tan Sri\u00a0P. Ramlee telah terkehadapan dalam membawa mesej tentang isu buta huruf kepada masyarakat, yang bukan sahaja berlaku dalam\u00a0kalangan kanak-kanak tetapi juga dalam kalangan orang dewasa. Jika dibiarkan berlanjutan, maka lahirlah generasi yang tidak celik huruf.\nKetua Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay (2022) di Persidangan Antarabangsa Pendidikan Dewasa Ketujuh di Marrakesh, Maghribi, telah mengesahkan isu buta huruf merupakan isu global. Menurut beliau, dianggarkan sebanyak 770 juta orang daripada golongan muda dan dewasa termasuk dalam kelompok ini.\u00a0Buta huruf merupakan kelompok yang tidak mahir menguasai aspek membaca, menulis dan mengira (3M) pada umur yang sepatutnya. Istilah buta huruf kedengaran seakan-akan\u00a0ungkapan bahasa kasar tetapi itulah kenyataannya. Isu ini bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia tetapi semakin merunsingkan lebih-lebih lagi apabila bermulanya Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian yang tidak begitu memberangsangkan kanak-kanak untuk menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira). Murid-murid di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai gajet untuk mengikuti pembelajaran seperti yang dijadualkan turut menyumbang kepada pertambahan bilangan ini. Kanak-kanak Tahap Satu di bandar juga tidak terlepas daripada\u00a0terkena tempiasnya walaupun dilengkapi dengan kemudahan\u00a0yang\u00a0serba canggih.\nRamai yang menarik nafas lega apabila pengumuman sekolah dibuka semula. Ibu bapa dapat pergi bekerja seperti biasa. Guru-guru tidak sabar memulakan pembelajaran secara bersemuka dan murid-murid berasa rindu untuk bertemu semula dengan rakan-rakan. Namun begitu, isu buta huruf tetap terjadi seakan-akan suatu\u00a0\u201cwabak.\u201d Sukatan pelajaran yang semakin menguji dengan tuntutan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) menyebabkan murid-murid terlibat semakin tertekan. Perkara yang lagi membimbangkan adalah yang melibatkan gangguan psikologi sehingga menyebabkan kemurungan kerana membandingkan prestasi dengan kelompok murid yang celik huruf. Ibu bapa yang tidak dapat menerima kenyataan akan lebih mendesak anak mereka untuk berusaha lebih keras sehingga menyebabkan golongan ini tidak yakin dan malu berdepan dengan orang lain.\nMasyarakat perlu menyedari bahawa kemahiran menguasai 3M sangat penting untuk menentukan tahap pemahaman murid-murid terhadap isi kandungan terhadap sesuatu subjek. Oleh itu, usaha yang relevan perlu dilakukan secara berterusan. Dalam hal ini, kita tidak boleh terus-menerus menuding jari kepada pihak sekolah untuk bertanggungjawab dan menanggung permasalahan ini kerana guru-guru juga telah bertungkus lumus merangsang kemahiran murid-murid. Guru-guru juga terkesan sama disebabkan banyak murid yang buta huruf semasa pandemik\u00a0COVID-19.\nPenggunaan skrin peranti yang lama turut menyebabkan penurunan kecerdasan daya psikomotor murid-murid Prasekolah dan Tahap Satu. Hal ini membuatkan guru-guru menggandakan usaha, melatih semula aktiviti menulis dan membaca. Terdapat juga segelintir guru yang mengadakan kelas tambahan\u00a0seusai waktu persekolahan tanpa bayaran demi melihat anak murid berjaya dan tidak ketinggalan mengikuti perancangan pembelajaran pada setiap minggu. Guru bukanlah lilin yang membakar diri tetapi obor yang menerangi kegelapan.\nPihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah berusaha melakukan transformasi dengan menyediakan kemudahan dan galakan pendidikan kepada pihak sekolah. Pihak kementerian telah memperkenalkan Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah (PLaN) dan Kelas Dewasa Ibu Bapa Orang Asli dan Penan (KEDAP),\u00a0untuk menangani buta huruf dalam\u00a0kalangan masyarakat.\nSementara itu, sebahagian ibu bapa yang tidak terlatih dalam pedagogi juga berjuang bersama-sama dalam memantau anak-anak dan sedaya upaya menyediakan kelengkapan pembelajaran agar tidak tercicir di samping \u00a0menyediakan sudut bacaan bagi menarik minat penguasaan 3M. Dewan Bahasa dan Pustaka menerusi Bahagian Ensiklopedia juga tidak ketinggalan memberikan\u00a0penghargaan dengan menganjurkan Pertandingan Dekorasi Ruang Bacaan Keluarga.\nTidak dinafikan, sememangnya hal ini menuntut usaha yang keras daripada\u00a0semua pihak bagi menyuntik semangat murid-murid harapan bangsa dan negara ini daripada terus tercicir. Kelas pemulihan khas berjadual pada waktu pagi dalam kumpulan kecil dengan menggunakan pendekatan pengajaran yang pelbagai akan membantu murid-murid terlibat mendapat bimbingan terus daripada guru. Oleh itu, modul pengajaran yang diaplikasikan\u00a0turut\u00a0dicadangkan mengikut tahap kemampuan bagi mengelakkan rasa terbeban kepada kedua-dua pihak.\nKepadatan dalam sesebuah kelas pemulihan juga perlu dielakkan agar murid buta huruf ini dapat menumpukan perhatian pada perkara yang disampaikan oleh guru. Pengkategorian kumpulan perlu dielakkan sama sekali kerana hal tersebut tidak akan menyelesaikan masalah,\u00a0malah membuka jurang antara murid yang\u00a0tidak\u00a0celik huruf. Golongan ini sangat memerlukan dorongan motivasi daripada masyarakat sekeliling. Perlakuan memandang dengan sebelah mata sahaja tidak adil kerana setiap individu sudah pasti mempunyai kelebihan untuk menyumbang kepada pembangunan insaniah pada masa akan datang.\nUsaha ini juga boleh diperluas dengan membuka ruang dan membenarkan bakal guru yang berada dalam pengajian pendidikan di universiti, di Institusi Pengajian Guru dan maktab perguruan untuk turun padang bersama-sama melakukan khidmat komuniti semasa cuti semester berlangsung dengan mengajar golongan murid terlibat dan sekali gus membantu guru-guru sedia ada.\nBakal guru bukan sahaja dapat menimba ilmu pengalaman bahkan\u00a0dapat mengalami sendiri persekitaran kerja sebenar sebelum berkhidmat sebagai guru\u00a0seusai pengajian kelak. Sememangnya Praktikum atau Latihan Mengajar diwajibkan kepada semua bakal guru namun kursus ini tertakluk pada semester tertentu sahaja. Justeru itu, dengan khidmat komuniti bakal guru ini bukan sahaja dapat membantu menangani masalah buta huruf bahkan\u00a0dapat meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara.\nSelain itu, program seperti klinik insentif bergerak menguasai 3M secara percuma yang mendapat tajaan daripada pihak berkemampuan juga merupakan suatu ikhtiar untuk menyokong pihak sekolah dalam hala tuju mencapai kemenjadian murid. Sebagai tanda sokongan, ibu bapa perlu menggalakkan\u00a0anak-anak mengikuti program sedemikian. Pelaksanaan program seperti ini dicadangkan dapat diadakan pada setiap bulan ataupun jika ada permintaan ramai boleh dilakukan sebanyak dua kali sebulan di tempat tertentu.\nDengan adanya organisasi yang tersusun mengepalai program ini dan adanya\u00a0pengajar sukarelawan yang mencukupi,\u00a0sudah pasti usaha untuk \u00a0mengurangkan bilangan murid daripada terus berada dalam kelompok ini akan tercapai. \u201cWabak\u201d buta huruf ini sememangnya sukar dimansuhkan tetapi sekurang-kurangnya terdapat inisiatif yang dilakukan daripada hanya membiarkannya dan tidak melakukan sebarang usaha untuk memperbaiki keadaan. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.\n\u00a0\n\u00a0\nProfesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad \u2212 Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, yang juga Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan." "Kelab Mandarin UiTM, Kedah Terbitkan Video Pendek Happy Chap Goh Meh\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nVideo tersebut dihasilkan secara kerjasama antara Kelab Mandarin UiTM, Kedah, di bawah bimbingan dua orang penasihat kelab itu, iaitu Lee Chai Chuen dan Dr. Nor Azrina Mohd Yusof dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan Cina Malaysia, Cawangan Kedah (MCCS).\nPengerusi kelab itu, Aidil Haziq Zulkifly berkata, bersempena dengan tarikh tersebut, beliau dan setiausaha kelab, Nur Saffiya Azni menjadi pelakon utama video pada hari ini, 5 Februari 2023, bersamaan 15 haribulan 1 Kalendar Cina kerana hari ini ialah hari terakhir perayaan Tahun Baharu Cina.\nKelab Mandarin UiTM, Kedah, yang melibatkan banyak pelajar Melayu, akhirnya berjaya menerbitkan sebuah video pendek bertajuk Happy Chap Goh Meh. Di samping itu, kelab kami juga pernah mempersembahkan bendera yang berwarna-warni dengan warna kebudayaan Cina ketika persembahan tarian pentas, tarian sapu tangan, tarian reben, tarian singa, dan menyanyikan lagu-lagu Tahun Baharu Cina di kawasan mural di Jalan Dewa, Sungai Petani dan lain-lain.\nMenurutnya lagi, banyak aktiviti kebudayaan Cina telah dipelajari oleh ahli kelab tersebut termasuklah tradisi masyarakat Cina di Malaysia, iaitu cara membaling buah limau ke dalam sungai dengan harapan mendapat jodoh yang baik.\nVideo pendek itu turut memaparkan beberapa aktiviti kebudayaan yang pernah dianjurkan oleh Kelab Mandarin UiTM sepanjang beberapa tahun lepas, termasuklah pelajar dan pensyarah yang menulis tulisan kaligrafi, tarian kipas yang berlatarbelakang sawah dan di lokasi Jambatan Semeling.\nSementara itu, Rektor UiTM Kedah, iaitu Prof. Dr. Roshima Said pula berkata, beliau berasa sangat gembira kerana Kelab Mandarin UiTM terus melakukan pelbagai aktiviti menarik tanpa jemu dan bosan melalui pelbagai aktiviti kebudayaan dan kesenian masyarakat Cina.\nUsaha yang dilakukan oleh Kelab Mandarin itu diharapkan dapat memberikan pelbagai kebaikan dalam menjayakan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, YAB Datuk Sri Anwar Ibrahim ke arah perpaduan dan muhibah dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Terima kasih kepada semua pihak kerana memberikan kerjasama bagi menerbitkan video ini, terutamanya dua orang penasihat Kelab Mandarin dan pelajar Kelab Mandarin kerana berjaya menghasilkan video pendek ini.\nTambah beliau lagi, apabila aktiviti seumpama ini terus diberi perhatian, semua etnik di Malaysia akan saling menghormati tanpa mengira kaum dan bekerjasama ke arah mewujudkan sebuah negara yang aman dan damai setelah menyaksikan video pendek tersebut.\nVideo boleh ditonton melalui pautan https://www.youtube.com/watch?v=WFq4XUtB0QE" "Kunjungan Hormat DBPWT ke JPNK Perkukuh Kerjasama Kebahasaan Sektor Pendidikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPNK) semalam bagi memperkukuh kerjasama kebahasaan di sektor pendidikan bagi tahun 2023. Kunjungan hormat Puan Ariza Che Ismail, Pengarah DBPWT itu disambut baik oleh Encik Mohd Hassany Hashim, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, JPNK. Yang turut hadir ialah beberapa orang pegawai daripada kedua-dua agensi tersebut.\nMenurut Puan Ariza Che Ismail, JPNK merupakan satu daripada rakan sinergi yang telah dibina oleh DBPWT sejak tertubuhnya pejabat wilayah di Kota Bharu pada tahun 1999. Peranan jabatan ini yang bersama-sama DBPWT memartabatkan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar dan guru amat besar sumbangannya.\nSaban tahun, banyak program bahasa dan sastera yang merentas pelbagai lapisan pelajar dan guru diadakan. Kejayaan ini adalah hasil kesepaduan idea dan tenaga kedua-dua pihak. Antara program yang berjaya diadakan sepanjang tempoh tersebut termasuklah Semarak Bahasa, Karnival Bulan Bahasa, Pertandingan Sahibba, Pertandingan Pengucapan Berirama, Pertandingan Pengisahan Tokoh, Pantas Jawi, Program Pembinaan Bakat Tunas Muda dan Tunas Remaja, Pertandingan Deklamasi Sajak dan Penyampaian Syair, Dekad Bahasa Kebangsaan, Dekad Membaca Kebangsaan, Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan dan Bengkel Pemantapan Kesusasteraan Komunikatif.\nBagi memperkukuh pelaksanaan program bahasa dan sastera tahun 2023 di sektor pendidikan, satu Karnival Bahasa dan Sastera akan diadakan pada 20-21 Mei 2023, di Kota Bharu, dan dijangka akan dirasmikan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia. Pengisian program ini akan merangkumi Semarak Jawi, Pertandingan Dikir Barat, Diskusi Bahasa, Pintar Bahasa, Cilik Bestari dan Forum Remaja." "Frasa: Pada Masa Sama atau Pada Masa yang Sama?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nFrasa yang manakah yang tepat di bawah ini?\n(i) pada masa sama\n(ii) pada masa yang sama\nDaripada:\nMuhammad Arif Abu Bakar,\nKuantan, Pahang." "Antara Rasmi, Merasmikan\u00a0dan Perasmian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata rasmi (official), merasmikan\u00a0(officiate) dan perasmian\u00a0(officiating) merupakan kata yang cukup biasa dan sederhana dalam bahasa Melayu. Namun demikian, hubung kait antara tiga kata tersebut ada kalanya menjanakan ikatan yang rumit dan mengelirukan sesetengah pengguna bahasa Melayu.\nMenurut Kamus Dewan Edisi Keempat\u00a0(2016: 1292), kata rasmi\u00a0bermaksud \u201cdisahkan atau ditentukan oleh kerajaan, pihak berkuasa, jabatan dan lain-lain\u201d. \u00a0Contoh penggunaannya adalah seperti upacara rasmi, ejaan rasmi, resit rasmi\u00a0dan tugas rasmi.\nKata merasmikan\u00a0bererti \u201cmengisytiharkan, mengesahkan, menentukan, menetapkan atau melantik dengan rasminya\u201d. Contoh penggunaannya termasuklah\u00a0merasmikan pameran lukisan\u00a0dan merasmikan pembukaan sekolah.\nKata perasmian\u00a0pula mendukung makna \u201cpengisytiharan, penentuan, penetapan, pengangkatan, pengumuman, pelantikan dan lain-lain\u201d. Contoh penggunaannya ialah perasmian ejaan, perasmian upacara, perasmian pelantikan, dan lain-lain.\nSatu perkara yang sering membingungkan sebilangan pengguna bahasa Melayu ialah penggunaan kata rasmi, merasmikan\u00a0dan perasmian\u00a0dalam hubungan dengan sesuatu majlis, iaitu mereka tidak tahu dan tidak pasti tentang bentuk yang betul atau salah.\nJika sesuatu aktiviti diadakan oleh sesuatu organisasi, biasanya kegiatan tersebut bermula dengan majlis pembukaan\u00a0(opening ceremony) dan berakhir dengan majlis penutupan\u00a0(closing ceremony). Sekiranya majlis yang berkenaan bersifat rasmi, kita boleh juga menggunakan frasa majlis pembukaan rasmi\u00a0(official opening ceremony) dan majlis penutupan rasmi\u00a0(official closing ceremony). Sila lihat contoh yang berikut:\n1a. \u00a0Majlis pembukaan\u00a0sukan tahunan telah diadakan.\n1b. \u00a0Majlis pembukaan rasmi\u00a0sukan tahunan telah diadakan.\n\u00a0\n2a. \u00a0Majlis penutupan\u00a0sukan tahunan telah diadakan.\n2b. \u00a0Majlis penutupan rasmi\u00a0sukan tahunan telah diadakan.\n\u00a0\nBagi majlis yang cukup besar dan penting, majlis pembukaan atau penutupan bukan sahaja bersifat rasmi, malahan diserikan dengan perasmian\u00a0(officiating) oleh tetamu kehormat. Oleh itu, tindakan perasmian\u00a0majlis\u00a0(officiating of the ceremony) yang khusus diadakan, dan tetamu kehormat mungkin diundang untuk merasmikan majlis yang berkenaan. Tetamu kehormat tersebut biasanya merupakan pemimpin politik, ketua jabatan, tokoh masyarakat, dan sebagainya. Oleh itu, kita juga boleh membina ayat seperti yang berikut:\n3a. \u00a0Tetamu kehormat merasmikan majlis pembukaan\u00a0sukan tahunan itu.\n3b. \u00a0Tetamu kehormat merasmikan majlis penutupan\u00a0sukan tahunan itu.\n\u00a0\n4a. \u00a0Perasmian majlis pembukaan\u00a0sukan tahunan telah diadakan.\n4b. \u00a0Perasmian majlis penutupan\u00a0sukan tahunan telah diadakan.\n\u00a0\n5a. \u00a0Perasmian majlis pembukaan\u00a0sukan tahunan telah diadakan oleh tetamu\nkehormat.\n5b. \u00a0Perasmian majlis penutupan\u00a0sukan tahunan telah diadakan oleh tetamu\nkehormat.\n\u00a0\n6a. \u00a0*Perasmian majlis pembukaan rasmi\u00a0sukan tahunan telah diadakan.\n6b. \u00a0*Perasmian majlis penutupan rasmi\u00a0sukan tahunan telah diadakan.\n\u00a0\nDalam kelompok ayat 3, terdapat kata kerja transitif merasmikan\u00a0(officiate) yang disusuli oleh majlis pembukaan\u00a0(opening ceremony) atau majlis penutupan (closing ceremony). Oleh itu, kata nama terbitannya ialah perasmian\u00a0majlis pembukaan\u00a0(officiating of the opening ceremony) atau perasmian majlis penutupan\u00a0(officiating of the closing ceremony) dalam kelompok ayat 4. Dalam kelompok ayat 5, pelaku tetamu kehormat\u00a0turut dinyatakan. Walau bagaimanapun, kelompok ayat 6 kurang sempurna kerana bersifat lewah. Hal ini dikatakan demikian kerana kata nama terbitan perasmian\u00a0sudah menjadikan majlis itu bersifat rasmi.\nJika kita mahu menekankan bahawa majlis itu ialah majlis perasmian\u00a0(officiating ceremony) bagi pembukaan\u00a0(opening) atau penutupan\u00a0(closing) sukan tahunan, kita akan menghasilkan kata majmuk majlis perasmian pembukaan\u00a0(officiating ceremony for the opening of)\u00a0dan majlis perasmian penutupan (officiating ceremony for the closing of). Sila lihat variasi ayat yang berikut:\n7a. \u00a0Majlis perasmian pembukaan\u00a0sukan tahunan telah diadakan.\n7b. \u00a0Majlis perasmian penutupan\u00a0sukan tahunan telah diadakan.\n\u00a0\nOleh itu, kita ada beberapa variasi ayat yang betul tentang situasi di atas, seperti yang berikut:\n8a. \u00a0Majlis pembukaan\u00a0sukan tahunan telah diadakan.\n8b. \u00a0Majlis pembukaan rasmi\u00a0sukan tahunan telah diadakan.\n8c. \u00a0Tetamu kehormat merasmikan majlis pembukaan\u00a0sukan tahunan itu.\n8d. \u00a0Perasmian majlis pembukaan\u00a0sukan tahunan telah diadakan.\n8e. \u00a0Perasmian majlis pembukaan\u00a0sukan tahunan telah diadakan oleh tetamu\nkehormat.\n8f. \u00a0\u00a0Majlis perasmian pembukaan\u00a0sukan tahunan telah diadakan.\n\u00a0\nWalaupun semua ayat di atas gramatis dan bermakna, terdapat sedikit perbezaan dari segi nuansa maknanya.\nJika kita mahu membuat sepanduk atau latar pentas yang berkaitan dengan majlis tersebut, kita akan menghasilkan variasi bentuk seperti yang berikut:\n9a. \u00a0Majlis Pembukaan Sukan Tahunan SMK Sentosa\n9b. \u00a0Majlis Pembukaan Rasmi Sukan Tahunan SMK Sentosa\n9c. \u00a0Majlis Pembukaan Sukan Tahunan SMK Sentosa dirasmikan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia\n9d. \u00a0Perasmian Majlis Pembukaan Sukan Tahunan SMK Sentosa disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia\n9e. \u00a0Perasmian Majlis Pembukaan Sukan Tahunan SMK Sentosa disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia\n9f. Majlis Perasmian Pembukaan Sukan Tahunan SMK Sentosa disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia\nBagi ayat 9c, kata kerja transitif dirasmikan\u00a0sesuai digunakan kerana maksud rasmi\u00a0tidak dinyatakan pada frasa nama majlis pembukaan sukan tahunan SMK Sentosa yang mendahuluinya. Namun demikian, bagai ayat 9d, 9e dan 9f, kata kerja transitif dirasmikan\u00a0patut diganti dengan kata kerja disempurnakan\u00a0atau diserikan\u00a0kerana maksud rasmi\u00a0sudah dinyatakan dalam frasa nama yang pertama." "Lakaran Seni Bersumberkan Peribahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bahasa Melayu bukan sekadar terkenal dengan kesantunan dan keindahannya, malah turut terkenal dengan kekayaan khazanah ilmu yang terkandung di dalamnya. Peribahasa merupakan satu daripada khazanah ilmu yang ada dalam bahasa Melayu. Menyentuh perihal peribahasa Melayu, siri rancangan Cakna Bahasa anjuran BERNAMA Radio, telah menampilkan Dr. Noor Azizi Mohd Ali, yang juga seorang Pensyarah Kanan di Fakulti Rekabentuk dan Seni Bina, Universiti Putra Malaysia, bagi mengupas topik \u201cKata dan Rupa\u201d.\nMenurut beliau, \u201cKata dan Rupa\u201d merupakan sebuah pameran hasil seni beliau yang perjalanannya bermula pada tahun 2014. Ketika itu, beliau mula menghasilkan lakaran yang bersumberkan peribahasa Melayu. Lukisan peribahasa pertama beliau ialah lukisan yang terinspirasi daripada peribahasa \u201cHarapkan pagar, pagar makan padi\u201d.\nSementara itu, beliau turut berkongsi pengalaman yang membuatnya cenderung untuk menghasilkan karya seni lukis yang bersumberkan peribahasa Melayu. Beliau berkata, tercetusnya idea untuk menghasilkan karya seni lukis yang bersumberkan peribahasa kerana beliau banyak membaca buku peribahasa dan Sejarah Melayu. Kekeliruan terhadap peribahasa juga mendorongnya untuk menghasilkan karya seni lukis menurut peribahasa yang sebenar.\nSaya rasa dengan melahirkan karya daripada peribahasa ini, kita dapat mendalami bagaimana kehidupan masyarakat Melayu pada suatu ketika dahulu. Peribahasa adalah bahasa lisan dan dicipta berdasarkan apa-apa yang mereka lihat di sekitar kehidupan mereka.\u00a0 Apa-apa yang mereka lihat itu cuba diolah menjadi peribahasa dan hal\u00a0 itu yang sangat menarik. Saya berasa bahawa bahasa yang begitu indah ini jika kita tidak terjemahkannya ke dalam bentuk lukisan akan berlaku kesilapan pemahaman ataupun terpesong daripada makna asalnya.\nSelain itu, beliau berkata, \u201cSebenarnya agak sukar juga kerana ada banyak lapisan proses yang perlu dilalui. Saya terpaksa memilih buku-buku lama untuk mengkaji peribahasa dan maksudnya. Buku-buku tahun 1940-an yang saya dapat dari kedai buku lama pula harganya sudah mencecah ratusan ringgit pada hari ini. Kemudian, saya cuba mengambil peribahasa yang mudah difahami dahulu dan memahami maksudnya. Dari situ, saya cuba melihat watak ataupun isi utama dalam peribahasa tersebut dan cuba terjemahkannya\u201c.\nMisalnya, watak utama dalam peribahasa \u201cMelepaskan batuk di tangga\u201d. Watak utama ialah batuk dan tangga. Saya melukisnya dahulu bentuk batuk tersebut yang semacam senduk. Kemudian, saya mengolah cara untuk menggambarkan batuk itu dilepaskan. Kemudian, tangga pula menjadi satu daripada latar belakang dalam lukisan tersebut.\nMenurut beliau, lukisan yang berinspirasikan peribahasa yang dihasilkannya setakat ini sudah mencecah lebih kurang 120 keping. Beliau turut mengupas periha hasil lukisan peribahasanya dari perspektif seni. Beliau berkata, pengolahan lukisan yang dihasilkannya terbentuk dalam dua kategori, yakni abstrak dan literal.\nKatanya, \u201cUntuk melihat lukisan, yang pertama sekali ialah kita perlu melihat elemen yang perlu ada pada lukisan tersebut. Misalnya lukisan peribahasa \u201cMelepaskan batuk di tangga\u201c. Elemennya ialah batuk dan tangga. Kemudian, kita perlu mengolah bagaimana elemen itu bergabung, sama ada meletakkan batuk itu di bahagian tengah, tepi, atau atas. Itulah yang dipanggil sebagai pengolahan yangmengandungi bahagian depan, tengah dan belakang. Hasilnya, ada tiga lapisan supaya lukisan tersebut kelihatan tiga dimensi\u201c.\nKemudian, seseorang itu perlu melihat pemaknaan, iaitu makna di sebalik lukisan tersebut yang berkaitan dengan peribahasa itu sendiri. Dari segi penggayaannya pula, lukisan ini dipanggil sebagai lukisan gaya elektik.\nSatu daripada sebab saya menghasilkan karya ini adalah untuk membuka mata kita betapa bahasa adalah jiwa bangsa yang menggambarkan diri kita yang sebenarnya. Saya juga berasa kesal jika melihat bahasa yang digunakan netizen yang agak kasar dan kadang-kadang tidak beradab. Jika kita melihat peribahasa ini, bahasanya begitu santun, indah dan berlapik. Jadi, inilah satu daripada usaha saya untuk memartabatkan bahasa Melayu." "DBP dan RTM Kukuhkan Kerjasama melalui Program Kebahasaan dan Sastera\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Penyiaran Negeri Sarawak, yang diketuai oleh Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBPCS bersama-sama Encik Ja\u2019afar Haji Hamdan (Timbalan Pengarah DBPCS) dan para pegawai yang lain. Rombongan DBP ini telah disambut baik oleh Puan Norjihan Yahya, Timbalan Pengarah\u00a0 Jabatan Penyiaran Negeri Sarawak, bersama-sama warga jabatannya.\nKunjungan tersebut diadakan untuk mengeratkan hubungan dan membina semula jaringan kerjasama yang telah terjalin sekian lama. DBPCS dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pernah bekerjasama dalam mempromosikan bahasa melalui ruangan \u201cBiasakan yang Betul\u201c dan \u201cBahasa Warisan Kita\u201c, yang disiarkan melalui Sarawakfm.\nDalam pertemuan tersebut, pelbagai agenda telah dibincangkan termasuklah program kebahasaan dan sastera yang turut memfokuskan penulisan skrip drama radio. Program lain yang turut dibincangkan adalah seperti pertandingan bercerita dan mewarna untuk kanak-kanak. RTM dalam reaksi balasnya turut menawarkan untuk membantu DBPCS menyebarluaskan aktiviti yang dilaksanakan pada tahun ini melalui siaran media mereka.\nSelain itu, DBPCS turut memaklumkan bahawa Pertandingan Bahas Piala Premier Sarawak akan dilaksanakan semula pada tahun ini. Justeru, DBPCS berharap agar RTM dapat menjadi penganjur bersama pada kali ini. Sebelum ini, RTM pernah menjadi penganjur dan penyiar rasmi Bahas Piala Ketua Menteri sebelum diberhentikan penganjurannya pada tahun 2019 akibat pandemik COVID-19.\nSekiranya program ini dapat direalisasikan bersama-sama RTM, pihak Jabatan Penyiaran Negeri Sarawak menyasarkan bahawa pertandingan Bahas Piala Premier Sarawak yang akan datang boleh disiarkan secara langsung melalui saluran TV RTM.\nSebelum mengakhiri pertemuan tersebut, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai berharap agar satu pertemuan susulan akan diadakan bagi memperincikan lagi program yang akan dianjurkan bersama-sama kelak." "Memperkasakan Bahasa Etnik untuk Pelestarian Warisan Budaya Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Buat julung-julung kalinya Konvensyen Guru Bahasa Etnik Kebangsaan Tahun 2023 telah dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Kurikulum, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak. Program ini berlangsung pada 13 Februari hingga 15 Februari 2023 di Hotel Imperial, Kuching, Sarawak, dengan bertemakan \u201cMemperkasakan Pendidikan Bahasa Etnik\u201d.\nSehubungan dengan itu, \u201cSelamat Pagi Sarawak\u201d anjuran Sarawak fm, telah menampilkan Datuk Dr. Mistrine Radin, Pengarah Bahagian Profesionalisme Guru, KPM dan Dr. Les Anak Met, yang juga merupakan Timbalan Pengarah di Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak bagi mengupas berkenaan dengan Konvensyen Guru Bahasa Etnik yang sedang berlangsung di negeri Sarawak pada minggu ini.\nMenerusi program ini, Datuk Dr. Mistrine Radin berkongsi perihal pengenalan pelbagai mata pelajaran bahasa etnik di sekolah-sekolah di Malaysia dengan para pendengar Sarawak fm.\nMata pelajaran Bahasa Etnik yang ditawarkan pada masa ini di sekolah di bawah KPM terdiri daripada Bahasa Iban, Bahasa Kadazandusun, dan Bahasa Semai. Bahasa Etnik ditawarkan di sekolah yang bertujuan untuk mengekalkan pengetahuan penggunaan bahasa, pengalaman pengetahuan orang asal dan penerusan penghayatan warisan budaya masyarakat Iban, Kadazandusun dan Semai.\nMenurut beliau, sehingga 31 Ogos 2022, sebanyak 1102 buah sekolah rendah menawarkan bahasa etnik tersebut. Daripada jumlah ini, 688 buah sekolah menawarkan Bahasa Iban, 397 buah sekolah pula menawarkan Bahasa Kadazandusun, dan 17 buah sekolah di Perak dan Pahang menawarkan Bahasa Semai.\nBagi sekolah menengah, daripada 129 buah sekolah yang menawarkan bahasa etnik, sebanyak 83 buah sekolah menawarkan Bahasa Iban, 45 buah sekolah menawarkan Bahasa Kadazandusun dan hanya satu sekolah, iaitu SMK Seri Tapah Perak, yang menawarkan Bahasa Semai.\nTambah beliau, sebanyak 120 139 orang murid mengambil mata pelajaran bahasa etnik di sekolah rendah, manakala sebanyak 27 360 orang murid mengambilnya di sekolah menengah. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 4027 orang guru di sekolah rendah dan 395 orang guru di sekolah menengah mengajar mata pelajaran bahasa etnik.\nSementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa Konvensyen Guru Bahasa Etnik 2023 mengandungi empat objektif. Pertama, menyebar luas ilmu dan pengetahuan baharu yang berkaitan dengan pendidikan bahasa etnik kepada warga pendidik khususnya yang mengajar bahasa etnik. Kedua, memperkasakan pembangunan profesionalisme guru bahasa etnik. Ketiga, menggalakkan amalan inovasi digital dalam kalangan guru bahasa etnik secara berterusan dan yang keempat ialah platform bagi aktiviti perkongsian ilmu, kepakaran dan kerjasama dalam kalangan pendidik bahasa etnik.\nBeliau juga menjelaskan bahawa tema Konvensyen Guru Bahasa Etnik 2023 ialah \u201cMemperkasakan Pendidikan Bahasa Etnik di Malaysia\u201d dengan tiga subtema, yakni memperkasakan kurikulum dan guru bahasa etnik, teknologi digital dalam pendidikan bahasa etnik dan penerapan nilai dan warisan budaya dalam pendidikan bahasa etnik. \u201cKita tidak mahu guru dan mata pelajaran bahasa etnik itu sendiri tertinggal dari aspek digital\u201d, ujar beliau lagi.\nBagi Dr. Les Anak Met pula, beliau mengupas tentang latar belakang berkenaan dengan Konvensyen Guru Bahasa Etnik. Menurut beliau, \u201cKonvensyen Guru Bahasa Etnik Kebangsaan pada tahun 2023 atau dikenali sebagai KGBK 2023, merupakan penganjuran untuk pertama kalinya yang dilaksanakan oleh KPM. KGBK ini menyediakan platform bagi aktiviti perkongsian ilmu, kepakaran dan kerjasama dalam kalangan warga pendidik bahasa etnik bagi mendepani masyarakat dalam era globisasi\u201c.\nKonvensyen ini dilaksanakan secara bersemuka dan secara dalam talian dan peserta yang mengikutinya secara bersemuka adalah sebanyak 200 orang yang mewakili guru Bahasa Iban dari Sarawak, guru Bahasa Kadazandusun dari Sabah dan guru Bahasa Semai dari Perak dan Pahang.\nKonvensyen ini juga melibatkan para pensyarah dari universiti awam, institusi pendidikan guru (IPG), dan para pegawai di bahagian dan jabatan yang terlibat secara langsung dalam mengurus program Bahasa Etnik ini. Bagi peserta yang menyertainya secara dalam talian, ruang tersebut terbuka kepada semua warga pendidik khususnya yang mengajar Bahasa Etnik.\nSementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa antara aktiviti yang diadakan termasuklah bicara profesional yang bertajuk \u201cPenerapan Nilai dan Warisan Budaya dalam Pendidikan\u201d, yang disampaikan oleh YBhg. Datuk Dr. Mistrine Radin. Ucaptama yang bertajuk \u201cMemperkasakan Pendidikan Bahasa Etnik di Malaysia\u201d pula disampaikan oleh YBrs. Dr. Norisah Suhaili, yang juga merupakan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah).\nPada hari ini juga berlangsungnya perkongsian pengalaman daripada Tokoh Bahasa, yakni YBhg Prof. Emeritus Dato\u2019 Dr. Hajah Asmah Haji Omar, yang bertajuk \u201cKelestarian Bahasa Etnik dalam Kelangsungan Budaya Bangsa\u201d. Kemudian, sesi pembentangan daripada guru Bahasa Etnik dan perkongsian pensyarah daripada universiti awam dan IPG. Sementara pada sebelah malam pula akan diadakan Dinner Talk, yang akan disampaikan oleh Ybrs. Tuan Haji Shafruddin Haji Ali Hussin, yang juga merupakan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (SPP) yang bertajuk \u201cPendidikan Bahasa Etnik: Guru Kreatif, Murid Ceria\u201d.\nPada hari yang terakhir juga diadakan forum yang bertajuk \u201cMemperkasakan Kurikulum dan Guru Bahasa Etnik\u201d. Tambah beliau, \u201cSepanjang konvensyen ini, kita juga mengadakan pameran kemenjadian murid dari tujuh buah sekolah yang mewakili setiap etnik, dari IPG dan satu daripada Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak\u201d.\nDatuk Dr. Mistrine Radin turut menyatakan harapannya berkenaan dengan penganjuran Konvensyen Guru Bahasa Etnik 2023. Beliau berkata, \u201cHasrat saya terhadap konvensyen ini ada dua. Pertama, kita ingin melihat impak kepada guru-guru yang terlibat. Ini adalah platform untuk mereka berjumpa dengan rakan yang sama-sama dalam kategori bahasa etnik. Kedua, impak dari segi langkah seterusnya.\nDalam konvensyen ini juga kita akan mengundang pihak NGO, universiti awam dan IPG Malaysia. Tujuan kita membawa mereka dalam konvensyen ini adalah untuk mengharapkan pihak ini (contohnya universiti awam) boleh menawarkan kursus-kursus di peringkat Sarjana dan PhD atau EDD kepada guru-guru ini. Bagi Ijazah Sarjana Muda, guru-guru ini telah menulis tesis dalam bahasa masing-masing (bahasa etnik), dan kita berharap supaya pada peringkat Sarjana dan PhD, mereka akan menulis dalam bahasa ini (bahasa etnik)." "Pertandingan Pidato Ekspresikan Bahasamu Wadah Pewaris Bangsa Berfikiran Kritis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu \u2013 Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-23 Bandaraya Kota Kinabalu, sebanyak enam orang peserta dari Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) telah berentap dalam Pertandingan Pidato Ekspresikan Bahasamu di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah . Pertandingan ini anjuran Unit Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP Cawangan Sabah dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.\nDengan tema \u201cSayangi Bandar Rayaku\u201d, para peserta yang terdiri daripada pelajar IPTS di Sabah mengemukakan idea serta hujah yang boleh menyumbang kepada pembangunan Kota Kinabalu. Pertandingan ini dirasmikan oleh Encik Ahsim Jamat, Pengarah Parlimen P171 Sepanggar. \u201cSaya menyarankan agar program seumpama ini dapat diteruskan kerana usaha menyemarakkan bahasa kebangsaan ini seharusnya tidak bermusim,\u201d ujar beliau semasa berucap di majlis perasmian.\nTimbalan Pengarah 1 DBP Cawangan Sabah, iaitu Encik Rusdi Awang berkata, \u201cSokongan dan keprihatinan masyarakat amat kami perlukan agar usaha kami tidak terhenti setakat selesai program sahaja, bahkan kami berharap ada langkah proaktif untuk merealisasikan setiap idea dan pandangan yang dilontarkan. Kami yakin idea yang dikemukakan ini adalah dari sudut pandang anak muda yang matang dan menyeluruh.\nPertandingan ini bukanlah bertujuan untuk mencungkil bakat pengucapan awam semata-sama, namun dapat dijadikan wadah untuk meningkatkan keyakinan dan menyerlahkan kemampuan golongan pewaris bangsa supaya dapat berfikir secara kritis.\nPertandingan Pidato Ekspresikan Bahasamu menyaksikan Ben Hur Benyamin Lasong dari Cyberjaya College, Kota Kinabalu dinobatkan sebagai johan dengan tajuknya, iaitu \u201cUsaha-usaha menjaga kebersihan bandar raya\u201d. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM1000.00, berserta sijil penyertaan dan buku terbitan DBP.\nNaib johan pula dimenangi oleh Attles Tonny dari Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology dan tempat ketiga dimenangi oleh Sahrinah Sanawing dari Kolej Teknologi Yayasan Sabah. Bagi pemenang sagu hati pula dimenangi oleh Amirah Atikah Sulaiman, Siti Nurfadzilah Abdullah daripada Almacrest International College dan Nurul Ashaerah Laip.\nPelibatan dan sambutan positif daripada para peserta menunjukkan sokongan masyarakat terhadap kepentingan bahasa Melayu. DBP yang bertanggungjawab mengangkat martabat bahasa Melayu akan terus optimis dalam mempergiat pelbagai program dalam pelbagai sektor untuk mencapai visi dan misi utama DBP." "Penghayatan Peribahasa Masih Kurang dalam Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSELANGOR \u2013 Peribahasa mengikut takrifan Zainal Abidin bin Ahmad (Za\u2018ba) ialah segala susunan cakap yang pendek yang telah melekat di mulut orang ramai semenjak beberapa lama oleh sebab sedap dan bijak perkataannya, luas dan benar tujuannya, dipakai akan jadi sebutan oleh orang sebagai bandingan, teladan dan pengajaran.\n\nTerdapat dua sumber peribahasa, iaitu melalui hasil renungan akal atau daya khayal (contoh: orang berbudi kita berbahasa; orang memberi kita merasa, hati gajah sama dilapah; hati kuman sama dicecah) dan melalui pemerhatian unsur alam seperti flora dan fauna, manusia dan objek lain (contoh: hangat-hangat tahi ayam dan ke bukit sama didaki; ke lurah sama dituruni).\nNamun begitu, penghayatan peribahasa dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini masih lagi kurang. Contohnya, penggunaan peribahasa seperti \u201cbaru setahun jagung\u201d. Jika digunakan dalam majlis yang tidak sesuai, peribahasa itu boleh menjadi satu penghinaan buat seseorang. Begitu juga dengan peribahasa yang salah seperti \u201cYang dikejar tak dapat, yang dikendong bertaburan\u201d, yang sepatutnya ialah \u201cYang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran\u201d.\n\nPeribahasa juga tidak boleh diguna secara semberono. Ada pengacara majlis menggunakan peribahasa yang salah bagi penjodoh bilangan. Contohnya, ketika menutup majlis dengan menggunakan perkataan \u201cSaya sudahi majlis ini dengan sepucuk pantun\u201d, yang sepatutnya ialah serangkap pantun. Hal ini jelas menunjukkan bahawa peribahasa kian kurang dihayati oleh generasi kini.\n\u201cPeribahasa wujud sebagai hasil proses akliah atau proses pemikiran yang melibatkan ketajaman fikiran, tafsiran dan pemindahan sesuatu objek atau peristiwa kepada makna lain yang tidak berkaitan dengan makna asal. Contohnya, kepala batu, tumbuk rusuk, kaki bangku dan sambil menyelam minum air.\u201c\nDemikianlah antara penerangan oleh YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.\nYang turut hadir ialah Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, Sasterawan Negara yang turut berkongsi kajiannya tentang peribahasa, Profesor Madya Dr.\u00a0Ashaari Muhamad, Timbalan Pengarah ATMA, UKM, yang memberikan maklumat tentang himpunan peribahasa dan pantun dalam portal ATMA, iaitu Malay Civilization dan Puan Rozlina Abdul Ghani, KPPD Hulu Selangor (perasmi), serta Cikgu Mat Ariffin Ismail, selaku moderator.\n\u201cPeribahasa Pancaran Akal Budi Melayu\u201d ini bersiaran secara langsung menerusi Google Meet pada pukul 8.30 malam dan disertai oleh 238 orang termasuklah guru-guru dari Malaysia dan China." "Sayembara Pidato Perpaduan 2023 Serlahkan Kepentingan Bahasa Melayu sebagai Alat Penyatuan Pelbagai Kaum\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Bersempena dengan sambutan Ulang Tahun ke-60 Sarawak Merdeka dalam Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) dengan kerjasama Badan Keluarga DBPCS dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), telah menganjurkan Sayembara Pidato Perpaduan Peringkat Negeri Sarawak 2023, di Balai Budaya, DBPCS pada 13 Februari hingga 14 Februari. Sayembara ini bertemakan perpaduan dalam usaha menerapkan nilai serta memupuk semangat bersatu padu yang utuh dalam kalangan masyarakat majmuk di Sarawak.\nAntara objektif penganjuran sayembara ini adalah untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat pelbagai kaum akan kepentingan bahasa Melayu sebagai alat penyatuan, memperluas dan memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dan mencungkil bakat baharu dalam bidang pidato dalam kalangan masyarakat di Sarawak. Oleh itu, sayembara seumpama ini amat penting diadakan bagi melahirkan generasi yang berhemah dan petah ketika berucap di khalayak ramai dengan menggunakan bahasa Melayu secara fasih, formal dan lancar.\nSayembara ini dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu Kategori Umum, Institut Pengajian Tinggi dan Sekolah Menengah. Bagi Kategori Sekolah Menengah, johan dimenangi oleh Nor Arissya Yackub (Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah), dengan hadiah wang tunai RM500.00. Naib johan pula dimenangi oleh Aimuni Bunsu (SMK Agama Matang 2) dengan hadiah wang tunai RM400.00, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Nathan Lu Jun Xi (Sekolah Menengah Chung Hua No. 1) dengan membawa pulang wang tunai RM300.00.\nbagi Kategori Institut Pengajian Tinggi pula, johan dimenangi oleh Aedryana Lata George (Universiti Institut Teknologi MARA) dengan hadiah wang tunai RM800.00. Naib johan dimenangi oleh Dylan Jelai (Universiti Institut Teknologi MARA) dengan wang tunai RM600.00, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Yvea Grace Litad Kajan (Politeknik Kuching) dengan membawa pulang wang tunai RM400.00.\nBagi Kategori Umum, johan diungguli oleh Nur Hasziana Hassim (Kementerian Kesihatan Awam), dengan menggondol hadiah wang tunai RM1000.00, manakala naib johan disandang oleh Zakia Setu (Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak) yang menerima wang tunai RM600.00, dan tempat ketiga dimenangi oleh Ayuni Hazirah Daniel Liting (Universiti Malaysia Sarawak) dengan membawa pulang wang tunai RM500.00. Selain memenangi hadiah wang tunai, kesemua pemenang bagi ketiga-tiga kategori turut membawa pulang watikah pengiktirafan dan buku terbitan DBP.\nPenyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS). Antara lain dalam ucapannya, Yang Berhormat Datuk Abdullah Saidol turut berkeyakinan bahawa program yang dianjurkan oleh DBPCS berupaya melahirkan bakat baharu dan menghasilkan karya bermutu dengan daya diri, daya saing dan daya sahsiah terutama perihal yang berkaitan dengan Sarawak, yang akan lebih banyak didokumentasikan. Menerusi program tersebut, beliau berharap agar bakat yang dimiliki oleh para pemenang dalam sayembara pidato perpaduan akan dapat diteruskan ke peringkat yang lebih tinggi.\nSebelum itu, Encik Abang Haliman Abang Julai, Pengarah DBPCS, dalam ucapan alu-aluannya memaklumkan bahawa DBPCS menyambut dengan penuh keyakinan dan kesungguhan untuk mengadakan Sayembara Pidato Perpaduan ini. Beliau menambah bahawa DBP sudah sekian lama memperlihatkan bahasa Melayu sebagai wahana perpaduan yang paling rasional, ampuh dan signifikan untuk sebuah masyarakat majmuk seperti Sarawak.\nYang hadir sama dalam majlis penyampaian hadiah sayembara tersebut ialah Tuan Haji Japri Bujang Masli (Ketua Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak), Puan Noor Seela Noor Sulaiman (Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sarawak) dan Encik Chuah Kee Man (Pensayarah Kanan, Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Malaysia Sarawak)." "Masyarakat Perlu Pertahan, Pelihara dan Pupuk Bahasa Etnik di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Bahasa merupakan anugerah terindah yang dikurniakan Tuhan kepada suatu bangsa di dunia. Tanpa bahasa, manusia tidak akan mampu mengenal sesama manusia yang lainnya. Bahasa etnik yang ada di Malaysia merupakan antara tanda keunikan dan kepelbagaian bahasa di mata dunia. Menyentuh perihal bahasa etnik, baru-baru ini dalam Konvensyen Guru Bahasa Etnik Kebangsaan 2023 anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia, telah menampilkan Prof Emeritus Dato\u2019 Dr Hajah Asmah Haji Omar, yang juga seorang tokoh bahasa tanah air dalam sesi \u201cPerkongsian Pengalaman Tokoh Bahasa: Kelestarian Bahasa Etnik dalam Kelangsungan Budaya Bangsa\u201d.\nMenurut beliau, bahasa merupakan satu pemberian Tuhan, yakni rahmat yang diberi oleh Allah SWT kepada manusia. Tambah beliau lagi, \u201cTiap-tiap bahasa ada sejarahnya. Ada sejarah yang akan memberikan pencerahan kepada kita tentang di manakah orang dahulu berada?, bagaimanakah mereka datang ke tempat yang ada sekarang?, bagaimanakah keadaan alam kita sekarang, pada zaman dahulu kala dan sebagainya?\u201d.\nBeliau turut menyatakan perihal bahasa etnik yang terdapat di Malaysia, iaitu \u201cKita juga ada orang Asli. Kata orang, orang Asli itu datang dari daratan Asia Tenggara. Jadi, mereka termasuk dalam keluarga yang lain, iaitu keluarga Astroasia. Jika kita tidak memelihara bahasa-bahasa ini, maka bahasa ini akan lupus begitu sahaja. Kita ingin tahu bukan setakat sejarah mereka datang ke Tanah Melayu, tetapi sejarah tempat asal mereka dan itu juga merupakan sejarah kita. Untuk Sabah dan Sarawak pula, jika kita lihat dari segi sistem dan struktur, bahasa di Sabah dan Sarawak ada kaitan dengan bahasa di pulau sebelah timur mereka, iaitu Filipina, Sulawesi dan sebagainya\u201d.\nBeliau juga menegaskan akan kepentingan mempertahankan, memelihara dan memupuk bahasa etnik di Malaysia daripada lupus begitu sahaja. Pelestarian bahasa etnik berupaya memberikan banyak ilmu pengetahuan tentang bahasa etnik, sejarah, alam dan etnik yang ada di negara ini.\nJika kita biarkan bahasa pribumi dan bahasa bumiputera kita tidak dijaga, tidak dipelihara dengan baik dan lupus begitu sahaja, maka satu bahagian daripada sejarah kita itu akan hilang begitu sahaja.\nSementara itu, beliau turut menyokong usaha murni KPM yang memperkenalkan mata pelajaran berteraskan bahasa etnik sebagai satu daripada mata pelajaran yang dipelajari di peringkat sekolah di Malaysia. Sebagaimana ujar beliau, \u201cItu usaha yang baik sekali. Kita baru bermula dengan tiga bahasa, satu daripada Semenanjung, iaitu Bahasa Semai. Kemudian, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun. Saya sudah pergi ke beberapa negara di dunia yang banyak bercakap tentang bahasa anak negeri dan sebagainya tetapi saya tidak pernah melihat ada rancangan seperti yang kita lakukan di sini\u201d.\nTambahnya lagi, untuk memasukkan satu daripada bahasa bumiputera ini ke dalam sistem pendidikan itu bukan suatu kerja yang mudah.\nDari segi pengalaman saya bersama dengan Bahasa Kadazandusun dan Bahasa Iban ini bukan satu usaha yang mudah dan ringan. Bukan sahaja dari KPM tetapi memerlukan kerjasama juga daripada seluruh komuniti yang bertutur dalam bahasa itu. Mereka harus sama-sama memberikan pandangan dan pertolongan dalam apa-apa jua usaha ke arah menjadikan pengajaran bahasa mereka itu suatu kejayaan." "Kuasa Magis Sepatah Kata\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata jalan\u00a0merupakan kata yang amat sederhana dan sudah tentu dikenali oleh kebanyakan pengguna bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, jika kata tersebut dikupas dan dianalisis secara mendalam, kata yang begitu biasa kita gunakan itu dapat juga memercikkan sinar kecendekiaan yang menarik.\nJika diteliti dari segi bentuknya, kata jalan\u00a0merupakan kata tunggal yang bebas yang dapat berdiri sendiri dalam ayat. Hal ini berbeza daripada morfem terikat yang terpaksa bergantung pada kata bebas atau morfem terikat yang lain untuk wujud dalam ayat. Selain itu, kata dwisuku kata jalan\u00a0terbina daripada bunyi vokal (V) dan konsonan (K) \u00a0dengan struktur suku kata KV + KVK.\nDari segi golongan katanya, kata jalan\u00a0merupakan kata nama. Hal ini terbukti kerana kata jalan\u00a0dapat menjadi subjek atau objek dalam ayat, dan dapat didahului oleh kata sendi nama. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a. \u00a0Jalan itu berliku-liku.\n1b. \u00a0Kerajaan akan membesarkan jalan itu.\n1c. \u00a0Kereta itu bergerak perlahan di jalan kampung.\nDalam ayat 1a, kata jalan itu\u00a0menjadi subjek ayat, manakala predikatnya ialah berliku-liku. Dalam ayat 1b, kata jalan\u00a0menjadi objek kepada kata kerja transitif membesarkan. Dalam ayat 1c, kata jalan\u00a0menyusuli kata sendi nama di.\nDari segi semantik, kata jalan\u00a0merupakan polisemi, iaitu kata pelbagai makna, atau kata yang maksudnya berubah mengikut konteks penggunaannya dalam ayat. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n2a. \u00a0Jalan itu sedang dibaiki.\n2b. \u00a0Jalan jam itu lambat.\n2c. \u00a0Jalan cerita buku itu menarik.\n2d. \u00a0Jalan fikirannya luar biasa.\n2e. \u00a0Kita harus mencari jalan untuk menyelesaikan masalah itu.\nDalam ayat 2a, kata jalan\u00a0bererti \u201ctempat laluan\u201d. \u00a0Dalam ayat 2b, kata jalan\u00a0bererti \u201cpergerakan\u201d. \u00a0Dalam ayat 2c, kata jalan\u00a0bererti \u201cperkembangan\u201d. Dalam ayat 2d, kata jalan\u00a0bererti \u201ccara\u201d. Dalam ayat 2e, kata jalan\u00a0bererti \u201cikhtiar\u201d.\nKata akronim tergolong sebagai kata tunggal. Dalam hal ini, suku kata pertama ja\u00a0dalam kata jalan\u00a0dapat bergabung dengan kata lurah\u00a0untuk menghasilkan akronim jalurah.\nKata jalan\u00a0juga dapat membentuk kata majmuk rangkaian kata bebas dengan kata lain. Sila lihat contoh yang berikut:\n3a. \u00a0Dia menggunakan jalan pintas untuk ke sekolah.\n3b. \u00a0Jalan raya itu sudah diturap semula.\n3c. \u00a0Jalan susur itu menuju ke kampung.\n3d. \u00a0Ada penyeludupan yang berlaku melalui jalan tikus.\n3e. \u00a0Keretanya terhenti di hujung sebatang jalan mati.\nDalam kelompok ayat di atas, terdapat contoh kata majmuk rangkaian kata bebas, iaitu jalan pintas, jalan raya, jalan susur, jalan tikus\u00a0dan jalan mati.\nAda kalanya kata jalan\u00a0dapat membentuk kata majmuk rangkaian kata bebas atau kata majmuk kiasan (simpulan bahasa) dengan kata lain, bergantung pada konteks penggunaannya dalam ayat. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n4a. \u00a0Jalan serong itu perlu diluruskan.\n4b. \u00a0Sesiapa yang berdisiplin akan menjauhi jalan serong.\n\u00a0\n5a. \u00a0Dia melalui jalan tengah di taman rekreasi itu.\n5b. \u00a0Mereka mengambil jalan tengah semasa membuat keputusan.\n\u00a0\n6a. \u00a0Dia masuk ke rumah melalui jalan belakang.\n6b. \u00a0Penggunaan jalan belakang mengundang kemarahan.\n\u00a0\nDalam ayat 4a, kata majmuk rangkaian kata bebas jalan serong\u00a0bererti \u201cjalan yang bengkok\u201d, manakala kata majmuk kiasan jalan serong\u00a0dalam ayat 4b bererti \u201cperbuatan yang tidak baik\u201d. Dalam ayat 5a, kata majmuk rangkaian kata bebas jalan tengah\u00a0bererti \u201cjalan di tengah\u201d, manakala kata majmuk kiasan jalan tengah\u00a0dalam ayat 5b bererti \u201ckeputusan antara dua pendapat yang berbeza\u201d. Dalam ayat 6a, kata majmuk rangkaian kata bebas jalan belakang\u00a0bererti \u201cjalan masuk melalui pintu belakang\u201d, manakala kata majmuk kiasan jalan belakang\u00a0dalam ayat 6b bererti \u201ccara yang tidak mengikut peraturan yang telah ditetapkan\u201d.\nKata jalan\u00a0juga dapat membentuk kata ganda penuh dan kata ganda separa. Sila lihat contoh yang berikut:\n7a. \u00a0Jalan-jalan di kawasan itu bengkang-bengkok.\n7b. \u00a0Mereka berjalan-jalan pada waktu senja.\n7c. \u00a0Mereka berjalan-jalan pada waktu cuti.\nDalam ayat 7a, kata ganda penuh jalan-jalan\u00a0menandakan jamak. Dalam ayat 7b, kata ganda separa berjalan-jalan\u00a0bererti \u201cbersiar-siar\u201d manakala dalam ayat 7c, kata ganda separa berjalan-jalan\u00a0bererti \u201cbercuti\u201d.\nKata jalan\u00a0juga dapat membentuk kata terbitan. Sila lihat contoh yang berikut:\n8a. \u00a0Laluan pejalan kaki itu menyenangkan orang ramai\n8b. \u00a0Kerajaan akan menjalankan projek mega itu.\n8c. \u00a0Mereka ialah saudara sejalan jadi.\n8d. \u00a0Perjalanan air di sungai itu lancar.\n8e. \u00a0Dia tidak terjalan kerana keletihan.\n8f. \u00a0\u00a0Penghibur jalanan itu bersuara merdu.\nDalam kelompok ayat 8, terdapat contoh kata terbitan yang terbina daripada kata dasar jalan, iaitu pejalan, menjalankan, sejalan, perjalanan, terjalan\u00a0dan jalanan.\nSatu hal yang sering mengelirukan para pengguna bahasa Melayu ialah kata terbitan menjalani\u00a0dan menjalankan. Sila lihat contoh yang berikut:\n9a. \u00a0Doktor itu menjalankan pembedahan.\n9b. \u00a0Pesakit itu menjalani pembedahan.\nDalam ayat 9a, kata menjalankan\u00a0bererti \u201cmelakukan\u201d, manakala dalam ayat 9b, kata menjalani\u00a0bererti \u201cmengalami\u201d.\nKata jalan\u00a0dapat menjadi inti atau penerang dalam frasa nama. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\nKata jalan\u00a0juga terdapat dalam sejumlah peribahasa. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\nsekali jalan\u00a0kena, dua kali jalan\u00a0tahu\nsesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan\nberjalan\u00a0jauh banyak dilihat\njalan\u00a0raya titian batu\nmenemui jalan\u00a0buntu" "DBPWT Rintis Kerjasama Kebahasaan dengan Imedikel Pharma Holding Berhad\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Buat pertama kalinya Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) mengadakan kunjungan hormat ke Imedikel Pharma Holding Berhad, yang beribu pejabat di Kota Bharu, Kelantan. Pertemuan selama dua jam\u00a0 itu diketuai oleh Puan Ariza Che Ismail, Pengarah DBPWT, bersama-sama beberapa orang pegawai. Kunjungan itu disambut baik oleh Presiden Imedikel Pharma, Tuan Haji Yusmat Mamat dan Encik Azman Abdul Jalil, Ketua Pegawai Eksekutif, bersama-sama Pengurusan Tertinggi Imedikel Pharma Holding Berhad.\nObjektif kunjungan tersebut adalah untuk meningkatkan bilangan kerjasama DBPWT dengan sektor swasta dalam memartabatkan bahasa kebangsaan. Imedikel merupakan sebuah syarikat yang berpengalaman luas dalam menghasilkan makanan tambahan, produk kosmetik, minuman kesihatan, vitamin, produk herba dan alat perubatan untuk kedai farmasi dan usahawan baharu di Malaysia dan khususnya di Kelantan dan Terengganu. Imedikel turut komited dalam melaksanakan tanggungjawab sosial melalui pelbagai aktiviti kepada pelbagai lapisan masyarakat.\nMenurut Tuan Haji Yusmat Mamat, mulai tahun 2023, Imedikel turut mengambil tanggungjawab dalam menjaga dan memartabatkan bahasa kebangsaan melalui penganjuran Pertandingan Pidato Bahasa Melayu Piala Imedikel. Tujuan progam itu adalah untuk melahirkan pelajar yang bijak berhujah dengan menggunakan bahasa kebangsaan yang baik dan bermutu. Di samping itu, pihaknya turut menekankan penggunaan bahasa kebangsaan menerusi siaran TV Imedikel milik mereka.\nSementara itu, Puan Ariza pula menyifatkan usaha Imedikel wajar dicontohi oleh syarikat swasta yang lain. Kunjungan DBPWT pada kali ini membuahkan kejayaan apabila pihak Imedikel sudi merintis kerjasama dengan DBPWT bagi merealisasikan beberapa program bahasa. Antaranya termasuklah Kuiz Kesihatan menerusi slot Kayanya Bahasa Kita di Radio Malaysia KELANTANfm, dan memperkenalkan istilah dalam bidang sains kesihatan, farmasi dan sebagainya menerusi TV Imedikel." "Syarahan Hari Pejuang Bahasa 152 Melestarikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Perpaduan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Program Syarahan Hari Pejuang Bahasa 152 (2023) telah berlangsung dengan jayanya di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS). Syarahan tahunan itu dianjurkan oleh DBPCS dengan kerjasama Badan Keluarga DBPCS dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).\nSyarahan ini merupakan satu daripada kaedah yang telah diambil oleh DBPCS sebagai usaha yang berkesan dalam memupuk semangat mencintai bahasa kebangsaan di Sarawak, dengan menampilkan tokoh bahasa untuk berkongsi ilmu dan pengalaman khususnya dalam bidang kebahasaan.\nDalam syarahannya, Encik Chuah Kee Man, Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak, telah menggariskan tiga cabaran dalam menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dalam era digital, iaitu keleluasaan media sosial, kepesatan aplikasi dan teknologi kecerdasan buatan, dan kecelaruan konsep kenegaraan. Selain itu, beliau turut menyatakan peluang yang boleh diambil daripada kemajuan teknologi digital dalam usaha melestarikan bahasa Melayu sebagai alat penyatuan di Sarawak yang mempunyai lebih daripada 40 etnik.\nSementara itu, menurut Yang Berhormat Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), majlis ini sesungguhnya amat bermakna dalam memperluas peranan dan wibawa bahasa, sastera dan persuratan untuk memperkukuh perpaduan pelbagai kaum di Sarawak.\nTambah beliau, soal kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh dinafikan dalam memperkasakan dan memelihara bahasa dan sastera untuk perpaduan supaya generasi akan datang mengetahui, menghargai dan seterusnya menyedari akan realiti tentang keunikan, kebudayaan dan kepelbagaian kaum di Sarawak.\nSebelum itu, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBPCS, dalam ucapannya menyatakan bahawa idea baharu, pandangan yang segar dan pendapat berwibawa dalam mencanangkan bahasa Melayu sebagai alat perpaduan sudah tentu akan membuka jendela fikir untuk melipatgandakan usaha yang bersesuaian dan selaras dengan perkembangan semasa.\nBeliau menambah, menyedari akan hakikat ini, DBPCS telah merancang kegiatan kebahasaan, kesusasteraan, penerbitan korporat dan budaya belajar sepanjang hayat menerusi pelbagai program yang akan dilaksanakan pada tahun ini bersama-sama rakan-rakan sinergi DBPCS.\nYang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Tuan Haji Japri Bujang Masli (Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak) dan Puan Noor Seela Noor Sulaiman (Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sarawak)." "Penggunaan Bahasa Melayu yang Betul akan Mempengaruhi Pertuturan Seharian Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cBahasa melambangkan bangsa.\u201d Peribahasa Melayu tersebut yang sering kita dengar itu membawa maksud bahawa setiap tingkah laku atau tutur kata yang dilafazkan oleh seseorang itu dapat menunjukkan asal usul keturunannya. Bahasa merupakan satu alat komunikasi yang digunakan dalam kehidupan seharian yang melibatkan dua individu atau lebih. Aktiviti berkomunikasi membolehkan seorang penutur dan seorang pendengar menyampaikan dan menerima sesuatu maklumat dengan jelas. Oleh sebab itu, bahasa yang digunakan oleh masyarakat amat penting bagi membolehkan sesuatu maklumat yang ingin disampaikan dapat difahami dengan jelas.\nJika diteliti pada zaman ini, penggunaan bahasa Melayu tidak lagi dititikberatkan dengan penggunaan cara yang betul kerana bahasa Melayu asal telah bercampur dengan pelbagai sistem ejaan dan pertuturan yang tidak betul. Sebagai contoh, penggunaan media sosial yang berkembang pada masa ini telah mempengaruhi banyak pihak terutamanya golongan muda. Mereka semakin giat menggunakan media sosial sebagai satu daripada medium untuk berinteraksi secara dalam talian seperti WhatsApp, Twitter, Instagram dan Facebook dan bahasa Melayu telah digunakan dengan cara yang tidak betul.\nMasyarakat Malaysia kini juga tidak lagi mengetengahkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dek kerana bahasa rojak yang telah bercampur dalam bahasa Melayu seperti bahasa Inggeris dan ada juga kemasukan kata slanga yang tidak pernah didengari yang seterusnya akan menyebabkan seseorang individu itu akan menggunakan bahasa rojak tersebut dalam kehidupan seharian.\nMedia sosial merupakan satu daripada medium yang memberikan pengaruh yang kuat kepada generasi pada hari ini kerana penggunaan setiap tatabahasa dan ejaan itu sendiri telah diubahsuaikan mengikut cara pertuturan mereka yang ringkas dan seterusnya terbawa-bawa dalam kehidupan seharian seperti singkatan perkataan \u201ctidak\u201d kepada \u201cx\u201d dan \u201cawak\u201d kepada \u201cawuck\u201d dan penggunaan kata slanga seperti \u201cdowh\u201d yang tidak membawa apa-apa maksud. Perkataan itu sengaja ditambah sebagai penyedap kata.\nBahasa singkatan yang pelik dan bahasa rojak ini sedang dan masih lagi digunakan sama ada dalam urusan rasmi ataupun tidak rasmi. Oleh itu, bahasa Melayu yang betul perlu diserapkan secara meluas dalam pendidikan sekolah rendah hingga ke peringkat universiti. Universiti merupakan institusi pendidikan untuk pelajar mengkaji dan menggali ilmu. Jika ilmu ditulis dalam bahasa lain, berkemungkinan ilmu itu tidak akan dapat difahami oleh anak bangsa lain. Sifat bahasa itu merentas sempadan dan merupakan sebahagian daripada proses kenegaraan. Bahasa ini juga mampu untuk mencerdikkan anak bangsa.\nSelain itu, menurut Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, penggunaan bahasa yang tidak terkawal dari aspek aturan bahasa dan tatasusila juga menyebabkan bahasa Melayu \u201cterjebak\u201d dalam kemerosotan mutunya pada masa ini. Semakin hari semakin dapat kita melihat bahasa Melayu yang kurang berkualiti kerana rakyat sendiri yang telah mencampuradukkannya ke dalam bahasa asli Melayu supaya sedap didengari dan perlu mengikut trend zaman sekarang.\nBiarpun zaman telah berlalu dengan pantas tetapi jangan pula kita memodenkan tradisi dan budaya bahasa Melayu itu sendiri. Walaupun singkatan kata dan bahasa rojak dianggap membawa maksud yang sama tetapi penggunaan ejaan dalam sistem bahasa Melayu perlu tepat dan betul dalam apa-apa jua keadaan. Jika tidak dibendung awal, hal ini akan menyebabkan pelajar terbiasa menggunakan bahasa yang salah tidak kira semasa peperiksaan mahupun dalam kehidupan mereka.\nDari sudut pandangan\u00a0yang lain, penggunaan bahasa Melayu yang tidak betul bukan sahaja\u00a0berlaku\u00a0dalam kalangan pelajar\u00a0bahkan\u00a0dalam kalangan penjawat awam. Menurut Encik Abd. Karim A. Bakar yang berpengalaman dalam mengendalikan memo, penulisan surat, minit mesyuarat dan dokumen rasmi,\u00a0penggunaan bahasa Melayu yang betul amat perlu\u00a0dan sebagai keperluan menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi selaras dengan Perkara 152 Akta Bahasa Kebangsaan 1967.\nNamun\u00a0begitu, apabila bahasa rojak digunakan dalam mesyuarat, perhimpunan, kuliah atau\u00a0bentuk perhubungan rasmi yang lain\u00a0akan memberikan kesan yang\u00a0buruk. Penggunaan bahasa rojak atau bahasa tidak baku dalam urusan rasmi menggambarkan disiplin yang rendah dan sikap tidak menghormati bahasa kebangsaan.\u00a0Oleh sebab itu, penggunaan bahasa Melayu\u00a0yang betul\u00a0amat penting kerana akan memberikan\u00a0pengaruh yang besar dalam setiap urusan. Pentingnya penggunaan bahasa Melayu yang betul kerana hal itu\u00a0akan terus menjadi ikutan\u00a0dan amalan\u00a0bagi\u00a0generasi akan datang.\nBahasa Melayu berkait rapat dengan identiti nasional negara bangsa dan melalui sistem pendidikan kebangsaan, para pelajar mestilah belajar dalam satu sistem bahasa pengantar yang sama. Dengan cara itu, seseorang warganegara akan memiliki satu karakter nasional. Bahasa Melayu berperanan dalam proses pembentukan suatu watak, sahsiah dan karakter rakyat Malaysia. Bahasa Melayu mempunyai keunikannya yang tersendiri. Oleh sebab itu, bahasa Melayu perlu dijaga kualitinya dan penggunaannya kerana akan diikuti oleh pelbagai tingkat umur terutamanya para pelajar.\nPara pelajar ini masih lagi belajar untuk memahami konsep dan penggunaan bahasa Melayu yang betul kerana pada hari ini penggunaan media sosial yang meluas akan mengaburi mata mereka untuk menilai sesuatu perkara sama ada betul ataupun tidak. Justeru, usaha daripada pelbagai pihak perlu ditingkatkan supaya penggunaan bahasa yang tidak menepati ciri sistem bahasa Melayu yang betul dikenakan tindakan sewajarnya. Sebagai contoh, usaha daripada pihak sekolah yang perlu menjadikannya tanggungjawab utama kerana institusi pendidikan memainkan peranan yang utama mendidik pelajar ilmu yang betul.\nWalau\u00a0bagaimanapun,\u00a0bahasa Melayu tetap\u00a0menjadi bahasa penataran ilmu. Apabila bahasa Melayu digunakan, proses dapatan ilmu itu akan lebih merata dan meluas. Semua rakyat akan dapat menikmati hasil ilmu tersebut. Apabila bahasa Melayu digunakan secara meluas, tidak akan\u00a0ada satu puak atau kelompok yang akan tercicir daripada bidang ilmu bahasa yang betul.\nJika bahasa Melayu terus dijulang dan dimartabatkan sebagai identiti\u00a0Malaysia yang khas, maka tidak mustahil negara maju akan turut memandang Malaysia sebagai negara yang unik lantaran masyarakatnya yang pelbagai kaum tetapi\u00a0tetap\u00a0menjadikan bahasa Melayu sebagai sebagai bahasa utama yang digunakan dalam kehidupan seharian. Oleh yang demikian, kelemahan penggunaan bahasa Melayu yang kurang memuaskan itu\u00a0harus diambil berat\u00a0dan ditambah\u00a0baik semula supaya keaslian bahasa Melayu pada masa akan datang terjaga dan akan terus diamalkan tidak kira dalam urusan rasmi ataupun tidak rasmi." "Aplikasi dan Cabaran ChatGPT dalam Dunia Pendidikan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerkembangan produk hasil teknologi kecerdasan buatan semakin rancak pada masa ini. Antaranya termasuklah Generative Pre-trained Transformer \u00a0atau lebih dikenali sebagai ChatGPT. Produk ini diperkenalkan pada November 2022. Brown dan rakan-rakan dalam artikel \u201cLanguage Models are Few-Shot Learner\u201d menyatakan bahawa ChatGPT merupakan model bahasa yang dibina dengan menggunakan data besar daripada internet dan menggunakan teknologi pembelajaran mesin untuk mempelajari padanan bahasa.\nKelebihan ChatGPT ialah kemampuannya untuk menjawab pertanyaan, menyelesaikan tugas generatif dan melakukan tugas pemprosesan bahasa natural. Dalam artikel \u201cGPT\u20113: It\u2019s Nature, Scope, Limits, and\u00a0Consequences\u201d, Floridi dan Chiriatti menjelaskan bahawa ChatGPT ialah model bahasa autoregresif yang menggunakan pembelajaran mendalam untuk menghasilkan teks yang mirip dengan teks yang dihasilkan oleh manusia. Produk ini berupaya menjanakan teks yang sesuai dalam pelbagai konteks dan bidang, termasuklah bidang pendidikan.\nDalam artikelnya, \u201cFramework for A Foreign Language Teaching Software for Children Utilizing AR, Voicebots and ChatGPT (Large Language Models)\u201d, Topsakal menerangkan bahawa dalam konteks dan bidang pendidikan bahasa, ChatGPT boleh menyediakan pelbagai kandungan untuk perisian pendidikan bahasa. Selain itu, ChatGPT boleh digunakan oleh guru untuk mereka bentuk isi kandungan pelajaran berdasarkan tahap kemampuan pelajar, menyenaraikan sumber rujukan dan meneroka strategi pengajaran yang sesuai digunakan untuk mengajar sesuatu kemahiran bahasa.\nDi samping itu, ChatGPT dapat digunakan oleh guru untuk menghasilkan pelbagai latihan bahasa dan menilai hasil tulisan pelajar. Pelajar pula dapat menggunakan ChatGPT sebagai alat bantu untuk memudahkan pemahaman terhadap isi pelajaran bahasa yang dipelajari. Penggunaan ChatGPT juga dapat meningkatkan kecekapan pelajar dalam kemahiran menulis dan bertutur kerana kecepatan dan ketepatannya.\nBagi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, guru mungkin boleh menggunakan ChatGPT untuk menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Antaranya termasuklah penulisan karangan, latihan perbualan, latihan tatabahasa, pembelajaran kosa kata dan latihan pemahaman.\nDalam aktiviti penulisan karangan, guru boleh menggunakan ChatGPT untuk membantu pelajar menjana idea dan menulis karangan dengan baiknya. Pelajar dapat berinteraksi dengan ChatGPT dan menggunakan idea yang diperolah daripada ChatGPT untuk menulis karangan yang berkualiti.\nMenerusi latihan perbualan, guru boleh menggunakan ChatGPT untuk menjanakan dialog bahasa Melayu yang menarik untuk membantu pelajar bertutur menggunakan bahasa Melayu dalam pelbagai konteks. Pelajar juga dapat berlatih berbual dengan ChatGPT mengikut topik yang diminati atau berdasarkan tema yang ditetapkan oleh guru.\nSeterusnya, dalam latihan tatabahasa, ChatGPT boleh digunakan untuk menjanakan maklumat yang berkaitan dengan rumus bahasa berserta contoh ayat dan menyediakan pelbagai soalan yang berkaitan dengan tatabahasa Melayu untuk mengukuhkan pemahaman pelajar terhadap aspek tatabahasa bahasa Melayu dengan cara yang lebih interaktif. Pelajar juga boleh berinteraksi dengan ChatGPT untuk menganalisis kesalahan ayat dan wacana.\nBagi pembelajaran kosa kata, guru boleh meminta pelajar menyenaraikan kosa kata bahasa Melayu yang ingin dipelajari dengan menggunakan ChatGPT. Contohnya, kosa kata yang mempunyai bentuk sinonim, antonim, hiponim, dan polisemi. Pelajar turut boleh menggunakan ChatGPT untuk menjelaskan makna kosa kata tersebut dan menggunakannya untuk menghasilkan pelbagai ayat mudah.\nAkhir sekali, bagi latihan pemahaman, ChatGPT dapat digunakan oleh guru untuk membantu pelajar memahami teks bahasa Melayu yang kompleks. Program ini juga dapat membantu pelajar meneroka makna konteks berdasarkan teks yang dibaca dan menganalisis makna tersirat yang terkandung dalam teks tersebut.\nNamun begitu, semua contoh aktiviti ini memerlukan pengawasan dan pembetulan daripada guru untuk memastikan kandungan yang dihasilkan oleh ChatGPT bertepatan dengan sistem bahasa Melayu dan bersesuaian dengan tahap kemampuan pelajar, serta dapat memenuhi objektif pembelajaran. Hal ini dikatakan demikian kerana bukanlah semua maklumat yang diberikan oleh ChatGPT tepat. Hal ini ditegaskan oleh de Winter dalam artikel \u201cCan ChatGPT Pass High School Exams on English Language Comprehension?\u201d. Menurut de Winter, ada kalanya, ChatGPT kurang efektif untuk membuat inferens berdasarkan pernyataan bersyarat, seperti menjawab teka-teki logik. ChatGPT juga kadangkala didapati cuba menyalurkan maklumat yang tidak relevan dan tidak diperlukan oleh pengguna.\nPenggunaan ChatGPT tanpa peraturan dan pengawasan akan menyuburkan budaya plagiarisme dalam kalangan pelajar Bahasa Melayu, khususnya di institusi pengajian tinggi. Jeblick dalam artikelnya \u201cChatting and Cheating: Ensuring Academic Integrity in the Era of ChatGPT\u201d menyatakan bahawa pelajar di institusi pengajian tinggi berpotensi untuk menggunakan ChatGPT bagi menipu dalam ujian dengan cara menghantar jawapan atau penulisan yang bukan dihasilkan oleh pelajar sendiri, sebaliknya dihasilkan sepenuhnya oleh ChatGPT.\nSelain itu, penggunaan ChatGPT boleh menyebabkan ketidakadilan dalam proses penilaian kerana penggunaannya hanya dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar yang mampu mengakses ChatGPT berbanding dengan pelajar lain yang tidak mampu mengaksesnya. Gejala seperti ini akan menyebabkan wujudnya sikap kebergantungan yang tinggi terhadap kecerdasan buatan dalam kalangan pelajar. Hal ini mungkin akan melemahkan daya pemikiran, kreativiti dan motivasi dalam kalangan pelajar, serta menghakis sifat jujur dalam diri pelajar.\nSesungguhnya, pengaplikasian ChatGPT dalam dunia pendidikan Bahasa Melayu akan memberikan pelbagai kesan yang baik dan buruk. Oleh itu, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi dan kementerian yang berkaitan perlu bertindak segera bagi mendepani isu dan cabaran penggunaan ChatGPT dalam dunia pendidikan dengan merangka garis panduan dan peraturan, serta menyediakan model penggunaan ChatGPT dalam dunia pendidikan untuk semua peringkat pengajian.\nDi samping itu, warga pendidik Bahasa Melayu juga perlu memanfaatkan kelebihan yang pada ChatGPT secara total demi memperkukuh pendidikan Bahasa Melayu dan pada masa yang sama perlu berwaspada dengan keupayaan dan kepintaran luar biasa yang ada padanya.\n\u00a0\n\u00a0\nDr. Muhammad Zuhair Zainal ialah Pensyarah Kanan Pendidikan Bahasa Melayu, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia, yang juga merangkap Presiden Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia." "Pemartabatan dan Pelestarian Bahasa Sukuan Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Bersempena dengan Hari Bahasa Ibunda Sedunia yang disambut pada 21 Februari setiap tahun, satu bual bicara khas berkenaan dengan pemerkasaan dan pelestarian bahasa sukuan Sarawak telah diadakan oleh pihak TVS dalam slot Sejahtera Asia. Hari Bahasa Ibunda Sedunia yang disambut pada setiap tahun telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai satu pendekatan untuk mengukuhkan perpaduan melalui kepelbagaian bahasa dan budaya.\nDua orang tetamu yang diundang khas bagi membicarakan topik ini ialah Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) dan Dr. Haji Zainal Abidin Haji Masleh, Pensyarah Cemerlang Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang, Kuching.\nMenurut Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, dalam usaha pelestarian dan pemartabatan bahasa sukuan di Sarawak, DBPCS melalui pelbagai sinergi dilakukan dengan kerjasama persatuan etnik mahupun individu-individu dalam melaksanakan program pembinaan dan penyelidikan bahasa sukuan. Antaranya termasuklah projek pembinaan kamus dan daftar kata bahasa sukuan Sarawak, pembinaan istilah budaya kearifan tempatan dan sidang penyelarasan istilah bahasa sukuan. Hal ini juga secara tidak langsung berupaya meningkatkan martabat bahasa sukuan di Sarawak dengan mengambil kira keupayaan untuk menyebar luas istilah dalam pelbagai bidang, sekali gus mampu mendokumentasikan khazanah warisan bangsa.\nMenurutnya lagi, usaha ini merupakan satu daripada langkah memelihara bahasa sukuan di Sarawak daripada kepupusan. Di samping itu, entri yang telah dikumpulkan dan disahkan akan dimasukkan ke dalam laman Sistem Bahasa Melayu Bersepadu (SBMB) untuk diakses oleh pengguna dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM).\nSelain itu, kategori berkenaan dengan status bahasa sukuan turut dibicarakan semasa bual bicara tersebut oleh Dr. Haji Zainal Abidin Haji Masleh. Terdapat empat kategori, iaitu Kategori 1B (Paling Selamat) seperti bahasa Iban, Kategori 1B (Selamat) seperti bahasa Bidayuh, Kategori 2 (Bahasa Hidup), Kategori 3 (Terancam) seperti bahasa Punan, dan Kategori 4 (Bahasa Moribund). Dua kumpulan bahasa yang terdiri daripada kumpulan bahasa Lembah Baram dan kumpulan bahasa Kajang telah dikategorikan sebagai bahasa moribund, iaitu diambang bahaya.\nOleh itu, pelbagai usaha dan inisiatif perlu dilakukan bagi mendepani cabaran yang boleh mengancam serta menghakis perasaan cinta akan bahasa ibunda masing-masing. Bahasa ibunda juga dilihat mempunyai keupayaan dalam menyebarkan pelbagai takrif istilah terutamanya yang berkaitan dengan kearifan tempatan.\nTuntasnya, perancangan pelbagai projek pembinaan dan penyelidikan yang didasari oleh Pelan Strategik Dewan Bahasa dan Pustaka ini akan dapat memberikan manfaat yang besar dalam usaha ke arah memartabatkan bahasa Melayu dengan penyerapan kosa kata daripada bahasa sukuan." "Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan oleh DBP Cawangan Sabah dan PBT Sabah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu \u2013Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-23 Bandaraya Kota Kinabalu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu telah menganjurkan program Bicara Bahasa yang bertajuk \u201cAntara Jati Diri dengan Citra Tempatan\u201d. Program ini berkonsepkan forum yang melibatkan perbincangan serta pertukaran pandangan dan pengalaman tentang pemerkasaan bahasa kebangsaan oleh DBP dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), khususnya di Sabah.\nTiga orang ahli panel telah diundang bagi mengupas isu ini, iaitu Tuan Lifred Wong, (Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Kewangan), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu), Encik Mahathir Abd. Hamid (Pengarah Jabatan Hal Ehwal Korporat, Perbadanan Labuan) dan Encik Abd. Karim A. Bakar (Munsyi Bahasa DBP). Encik Nadin Saleh (mantan Timbalan Pengarah, DBP Cawangan Sabah) pula telah bertindak sebagai moderator bagi sesi forum ini.\nKetua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, iaitu Puan Junainah Abbie yang mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu telah merasmikan program ini. Menurut beliau, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap usaha membentuk sikap positif terhadap bahasa kebangsaan dan peluasan penggunaannya dalam semua sektor, khususnya pada paparan di tempat awam.\nSementara itu, Puan Aminah Awang Basar, iaitu Pengarah DBP Cawangan Sabah pula menjelaskan bahawa penganjuran program ini membuktikan iltizam DBP untuk terus memperkasakan dan memartabatkan bahasa kebangsaan negara ini selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, serta tuntutan yang dicatatkan dalam wasiat Raja-raja Melayu pada tanggal 31 Ogos 1957 yang berbunyi, \u201cKami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu\u201d. Seiring dengan perlembagaan tersebut, bahasa Melayu seharusnya digunakan dalam pelbagai konteks, lebih-lebih lagi dalam urusan rasmi.\nProgram ini telah dihadiri oleh para peserta dari PBT seluruh negeri Sabah. Yang turut serta dalam program ini ialah delegasi dari Brunei Darussalam, yang diketuai oleh Yang Mulia Tuan Haji Awang Shuib Haji Abdul Wahab (Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei Darussalam). Sebelum sesi forum berlangsung, DBP Cawangan Sabah turut mengadakan program Jaguh Jawi, dengan mengedarkan soalan yang berkaitan dengan tulisan Jawi sebagai satu landasan meningkatkan kemahiran dalam tulisan Jawi dan seterusnya menyemarakkan penggunaan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat." "Analisis Ayat yang Kompleks\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAyat dapat kita analisis dari segi pola, jenis, ragam, dan susunannya. Bagi ayat tunggal atau ayat yang berstruktur ringkas, hal ini cukup mudah dilakukan. Namun demikian, bagi ayat majmuk, ayat yang panjang atau ayat yang berstruktur kompleks, analisis terhadapnya perlu dilakukan dengan lebih teliti.\nAda ayat yang mengandungi struktur ragam aktif dan pasif sekali gus. Oleh itu, penentuan ragam aktif-pasifnya berkait dengan struktur klausa utama sahaja. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a. Dia mengetahui bahawa adiknya dikenakan tindakan disiplin.\nAnalisis:\u00a0\u00a0\nKlausa bebas/utama: Dia mengetahui hal itu. (ragam aktif)\nKlausa tak bebas: bahawa adiknya dikenakan tindakan disiplin (ragam pasif)\nRagam ayat: Ayat aktif\n\u00a0\n1b. \u00a0Projek itu dijalankan untuk kerajaan menolong orang miskin.\nAnalisis:\nKlausa bebas/utama:\u00a0Projek itu dijalankan (ragam pasif)\nKlausa tak bebas: untuk kerajaan menolong orang miskin (ragam aktif)\nRagam ayat: Ayat pasif\n\u00a0\nAda ayat yang pola klausa bebasnya berbeza daripada pola klausa tak bebas. Oleh itu, pola ayatnya ditentukan oleh pola klausa utama sahaja. Sila lihat contoh yang berikut:\n2a. \u00a0Dia membeli rumah yang besar itu.\nAnalisis:\nKlausa bebas/utama:\u00a0Dia membeli rumah itu. (FN + FK)\nKlausa tak bebas: yang besar/rumah besar (FN + FA)\nPola ayat: FN + FK\n\u00a0\n2b. \u00a0Dia sangat yakin bahawa dia akan berjaya.\nAnalisis:\nKlausa bebas/utama: Dia sangat yakin. (FN + FA)\nKlausa tak bebas:\u00a0bahawa dia akan berjaya. (FN + FK)\nPola ayat: FN + FA\n\u00a0\n2c. \u00a0Dia ke kampung untuk menjenguk ibu bapanya.\nAnalisis:\nKlausa bebas/utama: Dia ke kampung (FN + FS)\nKlausa tak bebas: untuk menjenguk ibu bapanya (FN + FK)\nPola ayat: FN + FS\n\u00a0\n2d. \u00a0Ali ialah guru yang rajin.\nAnalisis:\nKlausa bebas/utama: Ali ialah guru.\u00a0(FN + FN)\nKlausa tak bebas: yang rajin/guru rajin (FN + FA)\nPola ayat: FN + FN\n\u00a0\nAda ayat yang predikatnya mempunyai kata kerja dan kata adjektif. Oleh itu, pola ayatnya ditentukan oleh kata yang berperanan utama dalam ayat tersebut. Sila lihat contoh yang berikut:\n3a. \u00a0Kasutnya hitam berkilat.\nAnalisis:\nPredikat ayat: hitam (KA), berkilat (KK sebagai adverba kepada KA)\nStruktur ayat: FN + FA\n\u00a0\n3b. \u00a0Dia berjalan laju.\nAnalisis:\nPredikat ayat: berjalan (KK), laju (KA sebagai adverba kepada KK)\nPola ayat: FN + FK\n\u00a0\n3c. \u00a0Dia ke sana bersendirian.\nAnalisis:\nPredikat ayat: ke sana (FS), bersendirian (KK sebagai adverba kepada FS)\nPola ayat: FN + FS\n\u00a0\nAda ayat yang perlu dianalisis struktur dalamannya (deep structure). Hal ini dikatakan demikian kerana mungkin berlaku pengguguran unsur tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:\n4a. \u00a0Orang itu baik sifatnya.\nAnalisis:\nPredikat struktur permukaan: baik (KA), sifatnya (KN)\nPredikat struktur dalaman: baik dari segi sifatnya: baik (KA), dari segi sifatnya (frasa keterangan kepada KA)\nPola ayat: FN + FA\n\u00a0\n4b. \u00a0Berenang ialah hobinya.\nAnalisis:\nSubjek struktur permukaan (sekali imbas): berenang (KK)\nSubjek struktur dalaman: aktiviti berenang (FN)\nPola ayat: FN + FN\n\u00a0\n4c. \u00a0Putih melambangkan kesucian.\nAnalisis:\nSubjek struktur permukaan (sekali imbas): putih (KA)\nSubjek struktur dalaman: warna putih (FN)\nPola ayat: FN + FK\n\u00a0\nAda ayat yang susunan klausa bebasnya berbeza daripada susunan klausa tak bebas. Oleh itu, susunan ayatnya ditentukan oleh susunan klausa utama sahaja. Sila lihat contoh yang berikut:\n5a. Elok\u00a0keretanya jika enjinnya dibaiki.\nAnalisis:\nSusunan klausa bebas/utama: Elok keretanya. (songsang)\nSusunan klausa tak bebas; jika enjinnya dibaiki (biasa)\nSusunan ayat: songsang\n\u00a0\n5b. \u00a0Rumah itu lebih mahal selepas ditambah perabot baharu.\nAnalisis:\nSusunan klausa bebas/utama: Rumah itu lebih mahal. (biasa)\nSusunan klausa tak bebas: selepas ditambah perabot baharu (pasif songsang)\nSusunan ayat: biasa\n\u00a0\nWalau bagaimanapun, ada kalanya susunan klausa utama dan klausa tak bebas sama. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n6a. \u00a0Rumah itu lebih mahal selepas dilengkapi perabot baharu.\nAnalisis:\nSusunan klausa bebas/utama: Rumah itu lebih mahal. (biasa)\nSusunan klausa tak bebas: selepas (rumah itu) dilengkapi perabot baharu\n(pasif, biasa)\nSusunan ayat: biasa\n\u00a0\n6b. \u00a0Rumah itu lebih mahal selepas ditambah dengan perabot baharu.\nAnalisis:\nSusunan klausa bebas/utama: Rumah itu lebih mahal. (biasa)\nSusunan klausa tak bebas: selepas (rumah itu) ditambah dengan perabot baharu (pasif, biasa)\nSusunan ayat: biasa" "Perkataan \u201cBerunsur\u201d dan \u201cBerunsurkan\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nApakah perbezaan antara perkataan berunsur dengan perkataan berunsurkan?\nDaripada:\nLee Su Ki,\nSMK Gajah Berang, Melaka." "Ayat yang Tidak Lengkap\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nAdakah ayat di bawah ini gramatis?\n1. Pencemaran udara yang berpunca daripada asap kenderaan amat berbahaya kerana mengandungi karbon monoksida dan plumbum.\nDaripada:\nBeh Leh Poh,\nSeri Kembangan" "Pencarian Bakat Perintis Jurubahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kerjaya jurubahasa merupakan kerjaya yang semakin berkembang pada masa ini terutamanya sejak negara dilanda pandemik COVID-19. Walaupun jarang-jarang sekali kerjaya profesional terutamanya dalam bidang bahasa bermula daripada platform pertandingan namun Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) buat julung-julung kalinya menganjurkan pertandingan Mencungkil Bakat Perantis Jurubahasa bersempena dengan sambutan ulang tahunnya yang ke-30 pada tahun ini. Sehubungan dengan itu, satu sesi borak santai telah diadakan oleh pihak ITBM yang menampilkan dua ahli orang panel bagi mengupas lebih lanjut berkaitan dengan pertandingan ini.\nJurubahasa Profesional ITBM, Dr. Noorazrin Zakaria berkata, beliau tertarik dengan kerjaya sebagai jurubahasa kerana perlu menggunakan kapasiti berfikir hampir semaksimum mungkin.\nJurubahasa juga perlu memahirkan diri dalam tempoh masa yang singkat dan jika tidak pun, mereka perlu memahami kandungan bahan yang perlu diterjemahkan.\nMenurut beliau, antara persediaan yang perlu ada bagi perantis dan pelapis jurubahasa ialah menambah kosa kata dan melatih diri mereka dengan kemahiran menterjemah sama ada kemahiran kejurubahasaan secara serentak mahu pun berturutan.\nPada peringkat awal, antara cabaran yang dihadapi termasuklah serangan panik dan kebuntuan mental terutama sekali apabila menjadi jurubahasa di mahkamah yang melibatkan kes perbicaraan jenayah berat.\nBeliau juga berharap supaya bakal peserta boleh mengambil cabaran yang ada kerana kerjaya sebagai jurubahasa ialah kerjaya yang mencabar tetapi sangat menggembirakan.\nSementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan ITBM, Encik Nor Azanizan Anwar pula berkata, Pertandingan Mencungkil Bakat Perantis Jurubahasa Berturutan yang diadakan oleh pihak ITBM ini adalah untuk meramaikan jurubahasa dalam negara kita selain memberikan kesedaran kepada masyarakat bahawa jurubahasa merupakan satu bidang kerjaya yang boleh diceburi.\nMelalui pertandingan ini, kita tidak hanya melihat dari segi kefasihan berbahasa bahkan dari aspek profesionalisme, etika dan pemakaian bahasa yang bersesuaian. Walau bagaimanapun, kriteria yang paling penting semestinya ialah kebolehan berbahasa dan berdisiplin kerana apabila dikatakan profesional, banyak yang perlu dlihat seperti tingkah laku, disiplin dan presentable.\nTambahnya, kemahiran berbahasa yang dimiliki oleh seseorang juga sebenarnya boleh menjadi nilai tambah tetapi segelintir masyarakat tidak melihat kebolehan ini sebagai ruang dan peluang tetapi hanya sekadar memudahkan komunikasi.\nJurubahasa di luar sana boleh berdaftar dengan ITBM kerana pihak ITBM juga menyediakan platform kepada mereka untuk menjadi jurubahasa sambilan bagi melakukan kerja-kerja terjemahan bagi pihaknya.\nPertandingan Mencungkil Bakat Perantis Jurubahasa oleh pihak ITBM ini akan bermula pada 1 Mac 2023 hingga 30 April 2023 dan pelbagai hadiah menarik ditawarkan bagi para pemenang. Bagi sesiapa yang berminat, bolehlah melayari segala bentuk platform media sosial ITBM bagi mengetahui dengan lebih lanjut tentang syarat penyertaan dan maklumat lain. Pihak ITBM juga akan menyediakan satu sesi taklimat ringkas sebelum pertandingan ini bermula." "Antara Kata Ganda dengan Kata Jamak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata ganda (reduplicated\u00a0words) ialah kata yang dihasilkan melalui proses pengulangan seluruh atau sebahagian kata dasar. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n\u00a0\nKata jamak (plural\u00a0words) ialah kata yang mendukung makna bilangan lebih daripada satu. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n\u00a0\nApakah hubungan antara kata ganda dengan kata jamak? Ada kata jamak yang tidak boleh diikuti oleh kata ganda penuh. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a. \u00a0*Dua/Kedua-dua orang petugas-petugas baharu itu rajin.\n1b. \u00a0Dua/Kedua-dua orang petugas baharu itu rajin.\n\u00a0\n2a. \u00a0*Kebanyakan pelancong-pelancong sopan.\n2b. \u00a0Kebanyakan pelancong sopan.\n\u00a0\n3a. \u00a0*Sesetengah/Sebilangan jiran-jiran sedia menolong kita.\n3b. \u00a0Sesetengah/Sebilangan jiran sedia menolong kita.\n\u00a0\n4a. \u00a0*Beratus-ratus orang-orang menghadiri majlis itu.\n4b. \u00a0Beratus-ratus orang menghadiri majlis itu.\n\u00a0\n5a. \u00a0*Banyak/Ramai tetamu-tetamu datang awal.\n5b. \u00a0Banyak/Ramai tetamu datang awal.\n\u00a0\n6a. \u00a0*Hubungan dalam kalangan guru-guru baik.\n6b. \u00a0Hubungan dalam kalangan guru baik.\n\u00a0\n7a. \u00a0*Kerjasama antara murid-murid membanggakan.\n7b. \u00a0Kerjasama antara murid membanggakan.\n\u00a0\n8a. \u00a0*Persatuan pengakap-pengakap itu aktif.\n8b. \u00a0Persatuan pengakap itu aktif.\n\u00a0\n9a. \u00a0*Kumpulan murid-murid itu bergotong-royong.\n9b. Kumpulan murid itu bergotong-royong.\n\u00a0\n10a. \u00a0*Senarai buku-buku itu panjang.\n10b. \u00a0Senarai buku itu panjang.\n10c. \u00a0Senarai-senarai buku itu panjang.\n\u00a0\nAda kata yang dapat mendukung maksud kolektif atau jamak dan tidak boleh digandakan. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n11a. \u00a0Dia merupakan rakyat yang setia.\n11b. \u00a0Dia merupakan remaja yang cergas.\n11c. \u00a0Dia merupakan belia yang berwawasan.\n\u00a0\n12a. \u00a0*Rakyat-rakyat kita harus bersifat setia.\n12b. \u00a0Rakyat kita harus bersifat setia.\n\u00a0\n13a. \u00a0*Remaja-remaja penting kepada negara.\n13b. \u00a0Remaja penting kepada negara.\n\u00a0\n14a. \u00a0*Belia-belia harus bekerja keras.\n14b. \u00a0Belia harus bekerja keras.\n\u00a0\nAda kata jamak yang tidak boleh digandingkan dengan kata ganda penuh dalam ayat. Sila lihat contoh yang berikut.\n15a. \u00a0*Burung-burung berterbangan.\n15b. \u00a0Burung berterbangan.\n15c. \u00a0Burung-burung terbang.\n\u00a0\n16a. \u00a0*Kelawar-kelawar bergantung di dalam gua.\n16b. \u00a0Kelawar bergantungan di dalam gua.\n\u00a0\n17a. \u00a0*Rumah-rumah di sana cantik-cantik.\n17b. \u00a0Rumah di sana cantik-cantik.\n17c. \u00a0Rumah-rumah di sana cantik.\n17d. \u00a0Rumah di sana cantik.\n\u00a0\nAda kata ganda separa yang tidak boleh digandingkan dengan kata jamak. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n18a. \u00a0*Dia membeli banyak sayur-sayuran.\n18b. \u00a0Dia membeli banyak sayur.\n18c. \u00a0Dia membeli sayur-sayuran.\n18d. \u00a0Dia membeli sayuran.\n\u00a0\nAda kata ganda semu yang tidak dapat diikuti kata ganda penuh. Sila lihat contoh yang berikut:\n19a. \u00a0*Tiap-tiap guru-guru hadir.\n19b. \u00a0Tiap-tiap guru hadir.\n\u00a0\nAda kata ganda semu yang boleh didahului oleh kata jamak. Sila lihat contoh yang berikut:\n20a. \u00a0Sebilangan kanak-kanak miskin.\n20b. \u00a0*Sebilangan kanak miskin.\n\u00a0\n21a. \u00a0Beberapa ekor rama-rama ditangkapnya.\n21b. \u00a0*Beberapa ekor rama ditangkapnya.\n\u00a0\nAda kata jamak yang tidak boleh diikuti kata ganda penuh tetapi boleh diikuti oleh kata ganda lain. Lihat contoh yang berikut:\n22a. \u00a0*Hubungan antara guru-guru itu baik.\n22b. \u00a0Hubungan antara adik-beradik itu baik.\n22c. \u00a0*Hubungan antara adik itu baik.\n\u00a0\n23a. \u00a0Hubungan antara kedua-dua orang itu baik.\n23b. \u00a0*Hubungan antara kedua orang itu baik.\n\u00a0\n24a. \u00a0Perpaduan antara beratus-ratus orang sukar dipelihara.\n24b. \u00a0*Perpaduan antara beratus orang sukar dipelihara.\n\u00a0\nAda kata jamak yang tidak boleh diikuti kata ganda penuh tetapi boleh diikuti oleh kata ganti nama diri yang jamak. Sila lihat contoh yang berikut:\n25a. \u00a0*Hubungan antara guru-guru itu baik.\n25b. \u00a0Hubungan antara kami / kita / mereka baik.\n25c. \u00a0*Hubungan antara dia baik.\n\u00a0\nSatu hal yang menarik ialah kata kekurangan\u00a0yang ada kalanya bermaksud jamak, dan ada kalanya tidak. Sila lihat contoh yang berikut:\n26a. \u00a0*Dia kekurangan buku-buku rujukan.\n26b. \u00a0Dia kekurangan buku rujukan.\n\u00a0\nDalam ayat 25a, kata kekurangan\u00a0mendukung maksud jamak, dan maknanya ialah \u2018tidak cukup mempunyai sesuatu\u2019 (short of/lack of). Namun demikian, dalam situasi lain, kata kekurangan\u00a0mendukung maksud \u201ckelemahan\u201d\u00a0atau \u201cketidaksempurnaan\u201d\u00a0(weakness, defect) yang mungkin bersifat mufrad atau jamak. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n27a. \u00a0Dia mempunyai satu kekurangan yang ketara.\n27b. \u00a0Dia mempunyai banyak kekurangan." "Risalah Iklan Perniagaan: Fakta atau Auta?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMusim perayaan bakal menjelang tidak lama lagi. Umat Islam di seluruh dunia akan menyambut bulan Ramadan dan seterusnya meraikan Hari Raya Aidilfitri. Di Malaysia, suasana meriah ini mulai terasa bahangnya sejak awal tahun baharu lagi apabila pelbagai iklan menjual baju dan kuih raya telah dikongsikan di media sosial. Selain itu, promosi memiliki kereta baharu turut diiklankan dengan pemberian pelbagai hadiah dan diskaun hebat.\nRisalah iklan seperti \u201cBeli satu, percuma satu\u201d, \u201cHadiah misteri untuk\u00a0setiap pembelian yang bernilai lebih RM100\u201d, \u201cPembelian gerenti lulus tanpa penjamin,\u201d \u201cKurus sebelum raya\u201d dan \u201cSegak semasa raya\u201d antara slogan yang popular digunakan oleh para pengusaha dan diyakini mampu menarik perhatian kelompok masyarakat Malaysia Madani.\nHal ini bersesuaian dengan fungsi laras bahasa iklan yang bertujuan untuk memaklumkan maklumat kepada pengguna tentang sesuatu produk. Oleh itu, pemilihan diksi yang digunakan adalah untuk mengekspresikan khalayak agar tertarik dengan produk yang dipasarkan. Dengan kata lain, penggunaan laras iklan menjadi medium komunikasi yang sangat akrab dengan masyarakat.\nJusteru itu, dalam hal ini masyarakat perlu peka dan bijak mengutamakan keperluan berbanding dengan kehendak masing-masing. Hal Ini kerana menurut Kamaruddin Husin (1995), iklan yang baik akan dapat mengubah sikap dan mampu mempengaruhi pengguna untuk membeli barangan yang diperkenalkan.\nAsmah Haji Omar (2007), telah menyenaraikan empat jenis iklan,\u00a0iaitu iklan jawatan, iklan sebut harga atau tender, iklan kempen dan iklan perniagaan. Pada pendapat penulis, iklan perniagaan adalah laras bahasa dominan yang mempunyai elemen pemujukan ataupun persuasif dan kaedah pernyataan menakjubkan yang mampu mempengaruhi orang lain untuk mempercayai dan membeli produk berkenaan.\nMisalnya, risalah iklan produk kecantikan dengan menggunakan frasa \u201cAnda ingin kulit\u00a0wajah\u00a0yang putih, licin dan gebu?, \u201cKurus tanpa diet dengan XYZ\u201d, dan \u201cPutih sekelip mata selepas sekali penggunaan\u201d.\u00a0Frasa yang kaya dengan penggunaan kata adjektif ini merupakan wacana yang ampuh dan dijadikan sebagai agen pemujuk untuk menarik kuasa beli khalayak.\nApabila melayari media sosial, sudah pasti akan ditemui pelbagai risalah iklan perniagaan yang menimbulkan rasa teruja. Kekerapan membaca risalah iklan ini akan mendatangkan perasaan untuk mengetahui lebih lanjut sesuatu produk dan seterusnya ingin mencuba dan membeli barangan tersebut. Hal ini menunjukkan bahawa frasa ayat yang impresif dan kadang kala diadun dengan animasi serta audio moden yang diilhamkan oleh pengusaha berjaya menggambarkan ilusi menjadi realiti. Strategi sebegini sangat diperlukan untuk menyampaikan mesej khasnya kepada kelompok sasaran.\nSelain itu, restoran makanan segera turut mencipta slogan yang kreatif bagi menggambarkan identiti perniagaan yang dijalankan seperti KFC dengan slogan ikoniknya,\u00a0iaitu \u00a0\u201cSedap Hingga Menjilat Jari\u201d. KFC meyakinkan\u00a0khalayak bahawa impak produknya akan membuatkan pelanggan menjilat jari kerana menikmati keenakan set hidangannya. Pernyataan bersifat pemujukan ini berjaya kerana KFC telah membuktikan restoran\u00a0tersebut mempunyai pembeli tegar yang sangat ramai.\nNamun\u00a0begitu, demi menghormati perasaan pelanggan dan mengikut protokol kesihatan dunia, KFC telah menghentikan sementara penggunaan slogan tersebut kerana dikatakan memberikan\u00a0ancaman kepada masyarakat dan tidak peka akan penularan wabak COVID-19 (https://www.astroawani.com/gaya-hidup/kerana-covid19-kfc-henti-sementara-guna-slogan-hingga-menjilat-jari-257513). Hal ini menunjukkan bahawa ayat pada risalah menjadi unsur penting dalam sesebuah iklan perniagaan yang mampu menimbulkan kesan reaksi sama ada positif ataupun negatif.\nPegawai pemasaran juga memainkan peranan dalam menjayakan risalah iklan perniagaan.\u00a0Golongan ini mempunyai keterampilan yang menarik dan mempunyai tanggungjawab untuk memberikan\u00a0maklumat yang tepat kepada para pelanggan. Jika menjual produk kecantikan, akan ditampilkan seseorang yang mempunyai kulit mulus. Jika menjual produk kesihatan pula akan ditampilkan seorang wanita yang kurus persis seorang model.\nDengan kata lain, pegawai pemasaran ini dihadirkan dengan pakej \u00a0lengkap untuk memberikan\u00a0keyakinan kepada khalayak bahawa produk yang dijual akan memberikan\u00a0kesan yang baik. Adalah tidak mustahil sekiranya pelanggan mudah tertawan dengan lenggok bahasa dan cara pemujukan pegawai pemasaran kerana kemahiran mereka yang dapat menterjemahkan kandungan risalah iklan perniagaan.\nRisalah iklan perniagaan yang baik akan membantu memandu masyarakat memilih produk yang berkualiti, bertahan lama dan tidak memberikan\u00a0kesan negatif dalam jangka masa pendek mahupun panjang. Pengusaha yang amanah akan menggunakan ayat yang telus dan mudah difahami. Misalnya, bateri berjenama Energizer yang menggunakan ayat promosi sebagai bateri yang paling tahan lama di dunia dan juga jenama Ridsect,\u00a0yang berkesan membunuh nyamuk sememangnya diyakini kebenarannya oleh para pelanggan. Impak ayat-ayat promosi ini juga dapat membina kepercayaan masyarakat kerana produk tersebut seiring dengan isi kandungan pada risalahnya.\nWalaupun begitu, tidak dinafikan\u00a0bahawa\u00a0persaingan dalam perniagaan menyebabkan pengusaha bersikap agresif memasarkan produk sehingga menggadai kesopanan dan kesusilaan. Masyarakat dihidangkan dengan ayat yang berbaur lucah yang disertai dengan imej yang mencolok mata. Media sosial yang boleh dicapai tanpa batasan menyebabkan ayat-ayat iklan sebegini sampai kepada pengetahuan golongan kanak-kanak dan remaja.\nPerasaan ingin tahu terhadap penggunaan istilah yang digunakan itu boleh membawa kepada penerokaan yang baharu kepada mereka. Jika tiada pemantauan, golongan ini boleh terjerumus ke kancah kemaksiatan atau kebejatan sosial. Oleh itu, rasa kekhuatiran masyarakat perlu diekspresikan dengan tindakan agar pengusaha sedar atas kesilapan bermain dengan ayat yang tidak kena pada caranya.\nSelain itu, kegusaran juga melanda apabila terdapat segelintir pengusaha yang menggunakan bahasa hiperbola dan bahasa yang mempunyai maksud tersembunyi mengenai sesuatu produk dengan tujuan melakukan barangan jualan. Penggunaan ayat yang melampaui batas dan tidak masuk akal adalah sesuatu perkara yang menjengkelkan. Hal ini perlu dipandang serius kerana boleh mendatangkan kecelaruan makna.\nMasyarakat yang mudah terpedaya akan membeli tanpa memahami kandungan sebenar produk tersebut. Risiko yang tidak disedari oleh pengusaha dalam kelompok ini ialah produk tersebut boleh mendatangkan kemudaratan kepada pengguna dan malangnya masyarakat hilang kepercayaan dan mengabaikan risalah iklan perniagaan pada syarikat lain yang mengikut garis panduan pengiklanan dengan betul. Janganlah disebabkan setitik nila, rosak susu sebelanga.\nTidak dinafikan\u00a0bahawa\u00a0kandungan pada risalah perniagaan sangat penting bagi pengusaha untuk menampilkan maklumat pada produk yang dikeluarkan. Namun begitu, penguasa perlu bijak dan tidak bersikap keterlaluan dalam mempromosikan\u00a0barangan. Janganlah\u00a0menjadi seperti lidah bercabang sehingga sanggup memutarbelitkan fakta menjadi auta. Risalah iklan perniagaan perlu bersifat mendidik dan membuat pernyataan yang benar. Perkara ini tidak menjadi masalah jika sesebuah syarikat mengikut tatacara kelola yang betul tetapi yang membimbangkan adalah kepada pengusaha yang tidak mempedulikan hal tersebut demi mengaut keuntungan.\nOleh itu, timbul juga sedikit persoalan apabila risalah perniagaan kecantikan yang melampau dengan menggunakan ayat-ayat bombastik dan muluk-muluk mendapat kelulusan edaran kepada masyarakat. Hal ini kerana jika dibiarkan boleh merosakkan minda, mengganggu perbelanjaan isi rumah dan menjadikan masyarakat dalam kealpaan. Oleh itu, risalah iklan perniagaan yang diedarkan mestilah ditapis bagi memastikan pengusaha tidak melanggar prinsip etika dan budaya masyarakat Malaysia Madani. Pengusaha yang ditegur pula janganlah seolah-olah seperti longgar sendat, lapang bertukul. Walaupun risalah iklan perniagaan nampak seakan-akan tiada kepentingan tetapi\u00a0sebenarnya\u00a0memberikan\u00a0impak yang besar kepada masyarakat.\n\u00a0\n\u00a0\nProfesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad \u2212 Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, yang juga Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan." "\u201cInsya-Allah\u201d dari Aspek Ejaan dan Pengertian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nIstilah \u201cinsya-Allah\u201d sering diberi teguran dan penjelasan pengertiannya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kepada masyarakat. Walau bagaimanapun, kesilapan ejaan ini masih berlaku lagi dalam kalangan masyarakat. Hal ini membuktikan bahawa masyarakat tidak cakna akan tatabahasa dan ejaan bahasa Melayu.\nMengikut huraian Kamus Dewan Edisi Keempat, istilah \u201cinsya-Allah\u201d bererti \u201cJika diizinkan Allah\u201c dan Wikipedia pula memberikan ertinya sebagai \u201cJika Allah menghendaki\u201d. Hal ini menunjukkan bahawa kita tidak mengetahui tentang masa hadapan atau apa-apa yang akan berlaku kepada kita.\nSelain itu, hal ini juga menunjukkan bahawa manusia mempunyai rencana, namun hanya Allah SWT yang mempunyai kuasa menentukannya. Oleh yang demikian, perkataan \u201cinsya-Allah\u201d menunjukkan kerendahan hati seseorang hamba, sekali gus kesedaran akan kekuasaan Allah.\nMenurut kata-kata Baba Ismail Sepanjang dari Pondok Pattani, amalan akhlak mulia ini perlu dilakukan oleh setiap orang yang menghendaki kemurnian hidup, iaitu apabila hendak melakukan sebarang kerja hatta apa-apa sekalipun, ucaplah \u201cBismillahirrahmanirrahim\u201d, apabila selesai melakukan sesuatu pekerjaan ucaplah \u201cAlhamdulillah\u201d, dan apabila ingin melakukan sesuatu pekerjaan atau mengucapkan janji, katakan \u201cinsya-Allah\u201d.\n\u201cInsya-Allah\u201d ialah suatu istilah yang cukup terkenal dan selalu digunakan oleh orang Melayu. Istilah ini sering digunakan berkaitan dengan janji. Selalunya apabila kita berjanji, orang yang perlu menunaikan janji itu akan berkata \u201cinsya-Allah\u201d bagi memberikan kefahaman kepada si penerima janji itu bahawa pasti akan terjadi dengan keizinan Allah SWT.\nPenyalahgunaan istilah ini kini telah menjadi begitu ketara sehinggakan jika istilah ini digunakan, masih lagi suatu pernyataan yang samar-samar dan tidak muktamad. Dapat difahami di sini bahawa penggunaan istilah ini selalunya digunakan untuk melepaskan diri atau sebagai jawapan tidak pasti untuk orang yang menerima janji.\nPenggunaan istilah ini juga sebagai usaha untuk membujuk orang yang menerima janji itu agar tidak sakit hati atau merajuk. Yang sebenarnya, sebagai orang Islam, istilah \u201cinsya-Allah\u201d adalah sesuatu yang amat besar maknanya dan maksudnya. Oleh sebab itulah ejaan penggunaannya hendaklah tepat mengikut linguistik bahasa Melayu dan betul sebutan tajwid dalam bahasa Arab.\nTegasnya, maksud sebenar istilah ini adalah dalam konteks berjanji melainkan dihalang atau dibatalkan oleh Allah SWT. Situasi ini dapat dikaitkan dengan satu frasa yang juga cukup popular dalam kalangan orang Melayu apabila sesuatu perkara terjadi.\nBerhubung dengan istilah \u201cinsya-Allah\u201d, pelbagai persoalan muncul dari sudut tatabahasa dan ejaan. Dalam hal ini, pihak DBP sentiasa memberikan penjelasan yang padat, ringkas, dan tepat. Lihat beberapa contoh soalan seperti yang berikut:\nSoalan 1:\nAssalamualaikum, antara tiga pernyataan di bawah, yang manakah betul mengikut penilaian tatabahasanya?\nJawapan dari pihak DBP adalah seperti yang berikut dan pihak yang bertanya telah mengucapkan ribuan terima kasih atas penjelasan yang diberikan.\n(Jawapan ini dalam konteks tatabahasa\u00a0dan bukan ejaan).\n\u00a0\nSoalan 2:\nYang manakah\u00a0betul bagi ejaan \u201cinsya-Allah\u201d, \u201cinsyaAllah\u201d\u00a0atau \u201cin sha Allah\u201d?\nSoalan 3:\nApakah ejaan sebenar bagi istilah \u201cinsya-Allah\u201d atau \u201cinsyaAllah\u201d atau \u201cinsyaallah\u201d?\n\u00a0\nMengikut Kamus Dewan\u00a0Edisi Keempat, ejaan yang betul ialah \u201cInsya-Allah\u201d (bagi permulaan ayat) dan \u201cinsya-Allah\u201d bagi pertengahan ayat.\nKetidakcaknaan pembaca dan penulis di media sosial membuatkan kaedah penulisan, khususnya ejaan menjadi haru-biru. Masing-masing ingin\u00a0menunjukkan kebolehan dan kepandaian\u00a0namun\u00a0sebaliknya mereka tidak ingin mengikuti pernyataan yang dikeluarkan oleh pihak DBP. Berhubung dengan isu di atas, DBP merumuskan bahawa jawapan bagi ejaan yang tepat ialah \u201cinsya-Allah\u201d.\n\u00a0\nSoalan 4:\nPerhatikan beberapa frasa ayat di bawah. Warga maya perlu prihatin dengan pernyataan DBP sebagai pusat penggubalan ejaan dan bahasa Melayu.\nJawapan sebenar bagi ayat di atas ialah (b), iaitu \u201cInsya-Allah\u201d saya datang.\n\u00a0\nSering kali pembaca di media sosial berasa pelik akan perkembangan tatabahasa dan ejaan pada masa ini. Yang sebenarnya, pihak DBP sudah menyiapkan hukum DM berhubung dengan tatabahasa dan ejaan ini tetapi banyak dalam kalangan pengguna media sosial yang masih tidak begitu peka akan perkembangan bahasa mutakhir ini, maka muncullah pelbagai kekeliruan. Contohnya seperti yang berikut:\n\u00a0\nSoalan 5:\nSelamat sejahtera. Soalan saya berkaitan dengan perkataan \u201cinsya-Alah\u201d. Yang manakah ejaan yang betul, \u201cinsya-Allah\u201d atau \u201cinsyaAllah\u201d?\n\u00a0\nBiarpun pertanyaan ini agak kecil tetapi apabila dimuat naik sebagai bahan di media sosial telah\u00a0menjadi sangat penting. Pihak DBP mengatakan bahawa ejaan \u201cinsya-Allah\u201d adalah tepat.\n\u00a0\nSoalan 6:\nApakah ejaan terkini bagi perkataan \u201cinsya-Allah\u201d atau \u201cin sha Allah\u201d?\n\u00a0\nDi media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan pelbagai lagi, mereka sering kali melakukan kesalahan dalam penggunaan ejaan bagi istilah \u201cinsya-Allah\u201d. Penegasan untuk jawapan bagi soalan istilah di atas yang tepat ialah \u201cinsya-Allah\u201d." "Ajaibnya Susunan Kata\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSusunan kata dalam frasa diatur sedemikian untuk mendukung maksud tertentu. Biasanya susunan kata dalam sesuatu frasa bersifat tetap dan tidak dapat diubah. Namun demikian, ada kalanya usaha untuk menterbalikkan susunan kata dalam sesuatu frasa mendatangkan maksud yang sama atau berbeza. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a. Dia datang lambat.\n1b. Dia lambat datang.\n2a. Dia amat/sungguh/sangat pandai.\n2b. Dia pandai amat/sungguh/sangat.\nDalam kelompok ayat 1, adverba lambat boleh berada di hadapan atau di belakang kata kerja seperti datang tanpa mengubah maksudnya. Dalam kelompok ayat 2, kata penguat bebas amat, sungguh dan sangat boleh berada di hadapan atau di belakang kata adjektif seperti pandai tanpa mengubah maksudnya.\nWalau bagaimanapun, perubahan dari segi susunan kata dalam sesuatu frasa nama biasanya merobah maksudnya. Sila lihat contoh yang berikut:\n3a. Dia suka makan kuning telur.\n3b. Telur kuning dijadikan hiasan dalam majlis itu.\n4a. Langit biru pada hari ini menandakan cuaca yang cerah.\n4b. Dia membeli cat berwarna biru langit.\n5a. Dia menternak ayam daging.\n5b. Dia suka makan daging ayam.\n6a. Air matanya berhamburan jatuh.\n6b. Mata air itu ialah sumber air bersih bagi kampung itu.\n6c. Mata airnya telah meninggalkannya.\n7a. Pokok bunga itu tumbuh subur.\n7b. Bunga pokok itu harum.\n8a. Dia guru pembimbing muridnya.\n8b. Dia pembimbing guru di institut pendidikan guru.\n9a. Dia tidak mengetahui pokok pangkal kejadian itu.\n9b. Pangkal pokok itu mereput.\n10a. Berita itu telah disebarkan kepada orang ramai.\n10b. Ramai orang berada di pasar.\n11a. Kebanyakan orang suka bersukan.\n11b. Orang kebanyakan duduk di belakang golongan bangsawan.\nDalam kelompok ayat 3, kuning telur ialah bahagian kuning pada telur, manakala telur kuning ialah telur yang berwarna kuning. Dalam kelompok ayat 4, langit biru ialah langit yang berwarna biru, manakala biru langit ialah sejenis warna. Dalam kelompok ayat 5, ayam daging ialah spesies ayam tertentu, manakala daging ayam bererti daging daripada ayam. Dalam kelompok ayat 6, air mata ialah air yang keluar dari mata, manakala mata air ialah tempat air terbit dari tanah atau kekasih (bahasa percakapan). Dalam kelompok ayat 7, pokok bunga ialah pokok yang berbunga, manakala bunga pokok bererti bunga pada pokok. Dalam kelompok ayat 8, guru pembimbing ialah guru yang membimbing murid, manakala pembimbing guru ialah pendidik atau jurulatih yang membimbing guru. Dalam kelompok ayat 9, pokok pangkal ialah sebab-sebab utama, manakala pangkal pokok ialah bahagian bawah pokok. Dalam kelompok ayat 10, orang ramai ialah masyarakat umum, manakala ramai orang ialah banyak orang. Dalam kelompok ayat 11, kebanyakan orang ialah sebilangan besar orang, manakala orang kebanyakan bererti orang biasa.\nAda kalanya perbezaan susunan kata dalam frasa membezakan rangkaian kata biasa daripada simpulan bahasa. Sila lihat contoh yang berikut:\n12a. Dia bersifat panjang tangan.\n12b. Tangan panjangnya membolehkannya mengambil barangan di rak teratas.\n13a. Dia bersifat besar kepala.\n13b. Kepala besarnya menandakan dia menghidap penyakit tertentu.\nDalam kelompok ayat 12, simpulan bahasa panjang tangan bererti tabiat suka mencuri, manakala rangkaian kata biasa tangan panjang ialah keadaan tangan yang sedia panjang. Dalam kelompok ayat 13, simpulan bahasa besar kepala bererti sifat sombong, manakala rangkaian kata biasa kepala besar ialah kepala yang sedia besar atau kepala yang besar sebagai akibat dihinggapi penyakit tertentu.\nPerubahan susunan kata mungkin melibatkan frasa nama atau frasa lain. Sila lihat contoh yang berikut:\n14a. Dia minum air.\n14b. Air minum itu suam.\n15a. Dia langsung tidak mahu balik ke kampung.\n15b. Dia menolak pelawaan itu secara tidak langsung.\n16a. Dia pernah tidak berehat sepanjang hari.\n16b. Dia tidak pernah berehat sepanjang hari.\n17a. Dia pasti tidak mahu menyertai program itu.\n17b. Dia tidak pasti mahu menyertai program itu.\nDalam kelompok ayat 14, frasa minum air ialah perbuatan minum air manakala air minum ialah air yang diminum. Dalam kelompok ayat 15, frasa langsung tidak bererti sama sekali tidak, manakala frasa tidak langsung bererti tidak nyata atau tidak terus. Dalam kelompok ayat 16, frasa pernah tidak bererti ada kalanya tidak, manakala tidak pernah bererti langsung tidak berlaku. Dalam kelompok ayat 17, frasa pasti tidak bererti tentu sekali tidak, manakala frasa tidak pasti bererti tidak tentu lagi.\nAda kalanya perubahan susunan kata dalam frasa melibatkan perspektif yang berbeza. Sila lihat contoh yang berikut:\n18a. Dia ketua polis balai.\n18b. Dia ketua balai polis.\n19a. Itu pejabat pos besar.\n19b. Itu pejabat besar pos.\nBagi kelompok ayat 18, ketua polis balai bererti ketua pegawai polis di balai, manakala ketua balai polis bererti ketua di balai polis. Dalam kelompok ayat 19, frasa pejabat pos besar bererti pejabat pos yang besar, manakala frasa pejabat besar pos bererti pejabat besar bagi perkhidmatan pos.\nAda kalanya susunan kata dalam frasa tertentu terikat dengan budaya masyarakat Melayu dan tidak boleh diubah dengan sesuka hati. Sila lihat contoh yang berikut:\n20a. Kerusi meja sudah tersusun.\n20b. *Meja kerusi sudah tersusun.\n21a. Sudu dan garpu tersusun rapi di atas meja.\n21b. *Garpu dan susu tersusun rapi di atas meja.\n22a. Dia membeli pinggan mangkuk.\n22b. *Dia membeli mangkuk pinggan.\n23a. Tuan-tuan dan puan-puan dipersilakan duduk.\n23b. *Puan-puan dan tuan-puan dipersilakan duduk.\n24a. Perkara yang sulit dan persendirian tidak harus didedahkan kepada\numum.\n25b.*Perkara yang persendirian dan sulit tidak harus didedahkan kepada\numum.\nBagi kelompok ayat 20 hingga 25, susunan kata dalam frasa kerusi meja, sudu dan garpu, pinggan mangkuk, tuan-tuan dan puan-puan, dan sulit dan persendirian merupakan susunan kata yang sejadi (natural) mengikut budaya masyarakat Melayu dan tidak boleh diterbalikkan." "Bicara Warkah Perjanjian Melayu Lama Pikat Generasi Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSerdang \u2013 Program Bicara Ilmu \u201cStruktur Warkah Perjanjian Melayu Lama Abad ke-19\u201c anjuran Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) menarik minat khalayak di luar jangkaan yang terdiri daripada generasi baharu negara.\nPada awalnya, program ini menyasarkan 100 peserta sahaja. Namun begitu, jumlah penyertaannya mencecah hampir sekali ganda daripada sasaran asal dengan fokus audiens yang tidak berganjak.\nBicara ilmu tersebut telah disampaikan oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM, Dr. Azhar Md Sabil secara hibrid di Muzium Warisan Melayu UPM, dan dikendalikan oleh Dr. Sharil Nizam Sha\u2019ri, Pensyarah Kanan, UPM, sebagai moderator.\nYang menariknya, program ini dimulakan dengan surah an-Nahl, ayat\u00a092, iaitu berhubung dengan keutamaan memelihara perjanjian.\n\u201cDan janganlah kamu seperti perempuan yang menguraikan benang yang sudah kukuh dipintalnya sehingga tercerai-berai kembali \u2013 dengan menjadikan perjanjian sebagai alat penipuan antara kamu disebabkan adanya golongan yang lebih ramai berbanding dengan golongan yang lain. Sesungguhnya Allah mahu menguji kamu dengan hal demikian dan pasti akan dijelaskan kepada kamu pada hari kiamat berkenaan apa yang kamu perselisihkan\u201c.\nDr. Azhar juga mengajak para peserta untuk menghargai warkah lama sebagai khazanah bangsa lantaran kesemuanya mewakili ketertinggian intelektual, sosiopolitik, dan sempadan geografi masyarakat secara tersirat dan tersurat selama ratusan tahun.\nMisalnya, kesemua warkah perjanjian pada abad ke-19 memiliki struktur yang agak moden dan kandungannya lebih berfokus berbanding dengan kurun sebelum itu.\nBeliau turut memetik pandangan Sasterawan Negara Muhammad Hj. Salleh pada tahun 2000, iaitu \u201cDaya keintelektualan pengarang Melayu ketika itu kian berkembang serta mampu mengungkapkan gambaran sebenar amalan dan budaya masyarakat pada zaman tersebut\u201d.\nSelanjutnya, beliau juga menjelaskan bahawa terdapat dua kategori utama warkah abad ke-19. Kategori pertama ialah Perjanjian Diplomatik dan Pemerintahan, yang melibatkan persefahaman, persetiaan, pelantikan, perisytiharan, pengurusan, notis tawaran, dan surat kuasa. Kategori kedua pula ialah Perjanjian Sosial, yang merangkumi hutang piutang, pajakan, kontrak, wasiat, surat sumpah, ikatan pertunangan, dan ikrar pernikahan.\nMeskipun berbeza, setiap warkah abad ke-19 memiliki lima struktur asas yang sama, iaitu kesemuanya kepala surat, kandungan, penutup, cap dan tandatangan. Peranan kepala surat itu menurut sarjana di British Library, Annabel T. Gallop adalah bertujuan untuk menentukan darjat dan pangkat bagi pengirim dan penerimanya.\nWalau bagaimanapun, amalan menandatangani perjanjian hanya menjadi kelaziman bagi warkah abad ke-19 sahaja. Hal ini menurut Annabel T. Gallop bukanlah tradisi orang Melayu.\nBeberapa warkah yang masih terpelihara ditampilkan kepada para peserta. Tambah menarik apabila sejumlah besar peserta generasi baharu boleh membaca tulisan Jawi lama pada warkah tersebut dengan amat fasih. Hal ini sekali gus meringankan kegusaran sesetengah pihak yang berasa bimbang akan tahap keprihatinan generasi baharu terhadap artifak pensejarahan bangsa Malaysia.\nAntara yang dipaparkan termasuklah Perjanjian Pangkor, 1874; Wasiat Yang Dipertuan Muda Raja Ali, 1856; Surat Hutang Orang Bugis, 1858; dan Notis Tawaran Penangkapan Dol Said, 1832.\nProgram tersebut dinaungi oleh Naib Canselor UPM, Prof. Dato\u2019 Dr. Mohd Roslan Sulaiman, bersama-sama barisan penasihat yang diketuai oleh Dekan, Prof. Madya Dr. Hazlina Halim, dan dijayakan oleh Penyelaras Muzium Melayu UPM, Dr. Halis Azhan Md. Hanafiah. Rakaman Bicara Ilmu yang dianjurkan secara percuma itu boleh diakses menerusi laman https://www.facebook.com/MuziumWarisanMelayu/videos/169582068759443" "Universiti Malaya Juara Festival Pantun antara Asasi (FANTASI) Universiti Awam 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Loghat Jawa dan Banjar Selangor Perlu Diketengahkan kepada Masyarakat Muda\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013Dialek yang pelbagai di Malaysia merupakan khazanah bahasa Melayu yang amat bernilai dan perlu dipelihara. Dialek atau nama lainnya loghat merupakan kelainan dalam sesuatu bahasa yang menjadi ciri golongan tertentu dalam kalangan penutur sesuatu bahasa itu. Di Malaysia, terdapat pelbagai dialek yang dinamakan mengikut negeri di Semenanjung Malaysia selain berdasarkan golongan etnik. Sehubungan dengan itu, Selamat Pagi Malaysia @ Singgah Selangor yang berlangsung pada 4 Mac dan 5 Mac 2023 di Kampung Kunci Air Buang, Sungai Burong, Tanjung Karang, Selangor, turut membawakan satu segmen khas berkaitan dengan loghat, iaitu loghat Jawa dan Banjar Selangor.\nPengerusi Pertubuhan Jawa Parlimen Tanjong Karang, Encik Husisin Haji Tahiron Dimyati, yang merupakan antara tetamu jemputan dalam segmen tersebut berkata, kebanyakan penduduk Jawa di Tanjong Karang berasal dari Jawa Tengah, Indonesia.\nTambahnya lagi, tempat tumpuan orang yang berasal dari Jawa Tengah di negeri Selangor ialah di kawasan Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sekinchan.\nLaras bahasa Jawa yang digunakan oleh penduduk di sini terdiri daripada bahasa halus dan bahasa kasar. Bahasa halus sama penggunaannya tetapi penggunaan bahasa kasar pula berbeza antara keturunan Ponorogo dan Pegelen.\nMenurut beliau, adat dan tradisi orang Jawa tidak begitu berbeza daripada kaum Melayu dan Banjar. Sebaliknya, bahasanya berbeza dan tidak sama dengan bahasa Melayu.\nTambahnya, contohnya orang Jawa turut mempunyai adat melenggang perut seperti orang Melayu di negara ini yang dipanggil \u201cpiton-piton\u201d, manakala bagi orang Banjar, adat ini dipanggil \u201cmelenggang parot\u201d. Adat ini memerlukan mereka menyediakan tujuh jenis ubi yang berlainan dengan acara kemuncaknya dengan membelah kelapa.\nAhli Jawatankuasa Kampung, Encik Ahmad Maidin yang berkongsi loghat Banjar masyarakat Banjar di Tanjong Karang pula berkata, orang Banjar di sini kebanyakannya berasal dari Banjar Kalimantan.\n\u201cSebutan bahasa Banjar berbeza daripada bahasa Melayu dan pelbagai berdasarkan keturunan seperti Banjar Keruak dan lain-lain,\u201d jelasnya.\nKedua-dua tetamu yang dijemput dalam segmen \u201cLoghat Jawa dan Banjar Selangor\u201d menyatakan bahawa kebanyakan anak muda pada hari ini tidak lagi menguasai kedua-dua loghat tersebut. Bahkan, semasa di rumah, mereka juga berkomunikasi dengan mencampurkan bahasa Melayu dengan loghat tersebut dalam perbualan harian.\nWalau bagaimanapun, kedua-duanya juga bersetuju bahawa loghat ini perlu diketengahkan kepada masyarakat muda agar tidak pupus dan mati pada suatu hari nanti." "Antara Bukan dengan Tidak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata bukan\u00a0dan tidak\u00a0merupakan kata nafi, iaitu kata prafrasa yang menidakkan sesuatu perkara. Dari segi penggunaannya, kata bukan\u00a0menafikan frasa nama dan frasa sendi nama, manakala kata tidak\u00a0menafikan frasa kerja dan frasa adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a. \u00a0Dia bukan\u00a0guru.\n1b. \u00a0Bukan\u00a0guru dia.\n2a. \u00a0Hadiah ini bukan\u00a0untuk adiknya.\n2b. \u00a0Bukan\u00a0untuk adiknya hadiah ini.\n\u00a0\nDalam kelompok ayat 1, kata nafi bukan\u00a0menafikan kata nama guru. Hal ini termasuklah\u00a0ayat susunan biasa dan ayat susunan songsang. Dalam kelompok ayat 2, kata nafi bukan\u00a0menafikan frasa sendi nama untuk\u00a0adiknya. Hal ini termasuklah\u00a0ayat susunan biasa dan ayat susunan songsang.\n3a. \u00a0Dia tidak\u00a0berusaha.\n3b. \u00a0Tidak\u00a0berusaha dia.\n\u00a0\n4a. \u00a0Dia tidak\u00a0malas.\n4b. \u00a0Tidak\u00a0malas dia.\n\u00a0\nDalam kelompok ayat 3, kata nafi tidak\u00a0menafikan kata kerja berusaha. Hal ini termasuklah\u00a0ayat susunan biasa dan ayat susunan songsang. Dalam kelompok ayat 4, kata nafi tidak\u00a0menafikan kata adjektif malas. Hal ini termasuklah\u00a0ayat susunan biasa dan ayat susunan songsang.\nAyat yang ada kata nafi bukan\u00a0dan tidak\u00a0mungkin mengalami pertentangan maklumat dengan adanya kata hubung gabungan tetapi. Sila lihat contoh yang berikut:\n5a. \u00a0Dia bukan\u00a0guru, tetapi\u00a0kerani.\n5b. \u00a0Bukan\u00a0guru tetapi\u00a0kerani dia.\n\u00a0\n6a. \u00a0Hadiah ini bukan\u00a0untuk adiknya, tetapi\u00a0untuk ibunya.\n6b. \u00a0Bukan\u00a0untuk adiknya tetapi\u00a0untuk ibunya hadiah itu.\n\u00a0\n7a. \u00a0Dia bukan\u00a0belajar, tetapi\u00a0bermain.\n7b. \u00a0Bukan\u00a0belajar tetapi\u00a0bermain dia.\n\u00a0\n8a. \u00a0Dia bukan\u00a0sombong tetapi\u00a0pendiam.\n8b. \u00a0Bukan\u00a0sombong tetapi\u00a0pendiam dia.\n\u00a0\n9a. \u00a0Dia tidak\u00a0mahu bekerja keras tetapi\u00a0mahu diberi kenaikan pangkat.\n9b. \u00a0Tidak\u00a0mahu bekerja keras tetapi\u00a0mahu diberi kenaikan pangkat dia.\n\u00a0\nDalam kelompok ayat 5 dan 6, kata nafi bukan\u00a0tetap digunakan dalam ayat yang ada pertentangan maklumat antara frasa nama atau frasa sendi nama. Dalam kelompok ayat 7 dan 8, kata nafi bukan\u00a0juga digunakan dalam ayat yang ada pertentangan maklumat antara frasa kerja atau frasa adjektif. Walau bagaimanapun, ada kalanya kata nafi tidak\u00a0digunakan dalam ayat yang ada pertentangan maklumat antara frasa kerja (sila lihat kelompok ayat 9).\nKata nafi tidak\u00a0dan bukan\u00a0boleh dinafikan lagi oleh kata tidak\u00a0atau bukan, dalam struktur ayat yang pelbagai rupa. Dalam hal ini, kata penegas -lah\u00a0dan -kah\u00a0dan kata penekan -nya\u00a0mungkin ditambah pada kata nafi bukan\u00a0atau tidak. Sila lihat contoh yang berikut:\n10a. \u00a0Dia bukan\u00a0tidak\u00a0tahu bahawa adiknya bersalah.\n10a. \u00a0Bukan\u00a0dia tidak\u00a0tahu bahawa adiknya bersalah.\n10c. \u00a0Bukannya\u00a0dia tidak\u00a0tahu bahawa adiknya bersalah.\n10d. \u00a0Bukanlah\u00a0dia tidak\u00a0tahu bahawa adiknya bersalah.\n10e. \u00a0Bukankah\u00a0dia tidak\u00a0tahu bahawa adiknya bersalah?\n\u00a0\n11a. \u00a0Takkan dia tidak\u00a0tahu bahawa adiknya bersalah.\n11b. \u00a0Takkanlah dia tidak\u00a0tahu bahawa adiknya bersalah.\n\u00a0\n12a. \u00a0Tidak\u00a0boleh tidak\u00a0dia akan menyertai aktiviti ini.\n12b. \u00a0Bukan\u00a0tidak\u00a0mungkin bahawa dia akan menyertai aktiviti ini.\n12c. \u00a0Bukan\u00a0tidak\u00a0mungkin bahawa dia tidak\u00a0akan menyertai aktiviti ini.\n\u00a0\n\u00a0\nDalam kelompok ayat 10a hingga 10d, kehadiran kata nafi bukan\u00a0dan tidak\u00a0yang saling menafikan mendukung pengertian positif, iaitu \u201ctahu\u201d. Walau bagaimanapun, dalam ayat 10e, kehadiran kata nafi bukan\u00a0dan tidak\u00a0dalam ayat tanya membawa makna negatif, iaitu \u201ctidak tahu\u201d. Dalam kelompok ayat 11, kehadiran dua kata nafi tak\u00a0dan tidak\u00a0mendukung makna positif, iaitu \u201ctahu\u201d. Dalam ayat 12a dan 12b, kehadiran kata nafi tidak\u00a0dengan tidak,\u00a0dan bukan\u00a0dengan tidak\u00a0membawa makna positif, iaitu \u201cmenyertai\u201d, tetapi dalam ayat 12c, kehadiran kata nafi bukan\u00a0dengan dua kata nafi tidak\u00a0membawa pengertian negatif, iaitu \u201ctidak menyertai\u201d. Dalam ayat 13, kehadiran dua kata nafi tidak\u00a0dan kata nafi bukan\u00a0mendukung makna yang amat positif, iaitu \u201cpastilah bahawa dia calon kita\u201d.\nKata nafi tidak\u00a0dan bukan\u00a0boleh ditambah imbuhan. Hal ini termasuklah\u00a0kata dasar yang terdiri daripada tidak\u00a0+ kata adjektif, tidak\u00a0+ kata kerja, dan tidak\u00a0+ kata bantu. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n14a. \u00a0Dia bertidak\u00a0akan tuduhan itu.\n14b. \u00a0Janganlah kita menidakkan\u00a0sumbangannya.\n14c. \u00a0Ketidakadilan\u00a0harus kita banteras.\n14d. \u00a0Ketidakpercayaan\u00a0daripada keluarganya menyedihkannya.\n14e. \u00a0Ketidakmahuan\u00a0belia untuk menceburi pertanian merugikan negara.\n\u00a0\n15a. \u00a0Mereka seia sebukan\u00a0dalam hal itu.\n15b. \u00a0Dia membukankan\u00a0ajaran kumpulan itu.\n\u00a0\nKata nafi tidak\u00a0dan bukan\u00a0boleh digandakan, dah hal tersebut ada kalanya melibatkan proses pengimbuhan juga. Sila lihat contoh yang berikut:\n17a. \u00a0Jangan bercakap tentang hal yang tidak-tidak.\n17b. \u00a0Setidak-tidaknya\u00a0dia masih sudi bercakap dengan kita.\n17c. \u00a0Dia bertidak-tidak\u00a0apabila disoal siasat tentang jenayah itu.\n\u00a0\nKata nafi bukan\u00a0dapat juga membentuk kata hubung gabungan berpasangan dengan kata lain, seperti bukan sahaja . tetapi juga\u00a0dan bukan sahaja . malahan. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n18a. \u00a0Dia bukan\u00a0sahaja\u00a0jahil, tetapi\u00a0degil juga.\n18b. \u00a0Dia bukan\u00a0sahaja\u00a0jahil, malahan\u00a0degil.\n\u00a0\nSingkatan kata nafi tidak, iaitu tak, digunakan dalam hal tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:\n19a. \u00a0Dia bersikap acuh tak\u00a0acuh.\n19b. \u00a0Kata berdiri\u00a0ialah kata kerja tak\u00a0transitif.\n19c. \u00a0Ketaknormalan yang berlaku akan diselidiki oleh para pakar.\n19d. \u00a0Takkanlah dia berani melawan samseng itu!" "Literasi dalam Pembelajaran Bahasa Kanak-kanak Disleksia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam domain pendidikan, kanak-kanak yang memerlukan sokongan atau bantuan tambahan untuk mencapai kejayaan dalam akademik digambarkan sebagai luar biasa. Antaranya termasuklah kanak-kanak yang menghidap disleksia, iaitu suatu masalah pembelajaran yang spesifik.\nKecelaruan pembelajaran ini terdiri daripada masalah disleksia, disgrafia dan diskalkulia. Disleksia merupakan kecelaruan pembelajaran yang paling lazim dalam kanak-kanak di Malaysia berbanding dengan masalah disgrafia atau diskalkulia.\nKanak-kanak disleksia mempunyai pelbagai jenis cabaran dan halangan dalam proses pembelajaran. Masalah itu dikaitkan dengan pembangunan neurologi yang mempengaruhi keupayaan individu itu untuk memproses, menyimpan dan menghasilkan semula maklumat. Oleh sebab itu, kecelaruan pembelajaran memberikan impak kepada proses kognitif kanak-kanak disleksia.\nDisleksia merupakan masalah pembelajaran yang khusus kerana mempengaruhi keupayaan membaca dan menulis. Walaupun didedahkan dengan pembelajaran konvensional di dalam bilik darjah dan motivasi yang betul, mereka masih tidak akan mempunyai kefasihan membaca dan menulis seperti kanak-kanak normal. Oleh itu, disleksia lebih dikategorikan sebagai kecelaruan bahasa kerana mempengaruhi keupayaan membaca dan menulis seseorang dalam proses pembelajaran.\nKanak-kanak disleksia mungkin dapat membaca tetapi hanya membaca pada tahap yang lebih rendah daripada yang dijangkakan dari segi tahap usia dan perkembangan minda mereka. Kecekapan membacanya juga lemah dan tahap kritikalnya bergantung kepada individu. Masalah bacaan mereka bukan dipengaruhi oleh keadaan persekitaran pembelajaran atau motivasi yang diberikan oleh guru.\nWalau bagaimanapun, daya deria kanak-kanak disleksia berfungsi dengan baik dan kecerdasan mereka tidak mempunyai kaitan dengan masalah pembelajaran disleksia. Hubungan kecerdasan IQ dengan kewujudan disleksia telah banyak dikaji dalam bidang penyelidikan disleksia dan penyelidik membuktikan bahawa kecerdasan IQ disleksia tidak terjejas atau kurang daripada individu normal.\nNamun begitu, kanak-kanak disleksia boleh menunjukkan kecelaruan yang bersifat jangka masa pendek seperti tingkah laku, emosi, psikologikal dan sebagainya.\nPersatuan Disleksia Antarabangsa (The International Dyslexia Association, IDA) menganggarkan bahawa hampir 15 hingga 20 peratus penduduk dunia mengalami sekurang-kurangnya satu atau lebih simptom disleksia.\nMenurut IDA, disleksia ialah masalah pembelajaran spesifik yang dikaitkan dengan sifat neurologi. IDA juga membuktikan bahawa ada perbezaan struktur otak yang signifikan dalam kalangan kanak-kanak disleksia berbanding dengan kanak-kanak normal.\nDisleksia mungkin disebabkan oleh perkembangan otak yang lambat atau kekurangan dalam domain fonologikal bahasa. Dalam pada itu, kemampuan kognitif individu disleksia juga mempunyai perkaitan dengan kekurangan tersebut.\nAspek Literasi dalam Masalah Disleksia\nTahap kesukaran dalam pencapaian literasi disleksia bergantung kepada kebolehan menguasai fonetik dan fonologi, huruf dan kata serta ejaan. Ada beberapa aspek yang perlu dinilai bagi mengetahui keupayaan dan tahap literasi kanak-kanak disleksia.\nPenilaian literasi itu meliputi aktiviti membaca kata tunggal, mengeja, pemahaman bacaan dan kepantasan membaca. Ada yang mencadangkan untuk membaca perkataan, mengeja, tahap kefasihan membaca dan penyahkodan untuk menilai kesukaran literasi disleksia dalam bahasa Melayu.\nPenyahkodan merupakan kemampuan menyebut perkataan yang ditulis dan kemahiran ini tidak mempunyai hubungan dengan kecerdasan umum. Penyelidik membuktikan bahawa penyahkodan sebagai \u201ckemahiran memproses tahap rendah\u201d \u200b\u200bdan pemahaman sebagai \u201ckemahiran memproses tahap lebih tinggi\u201d.\nKemahiran ini dapat dinilai dengan ujian membaca dan ejaan. Contoh masalah literasi bagi kedua-kedua aspek penyahkodan dan pemahaman ini ialah penguasaan yang rendah dalam pengenalan huruf bahasa Melayu.\nPengetahuan huruf\u2212bunyi terbukti menjadi petunjuk utama yang sangat baik dalam menilai pencapaian membaca dan mengeja kerana kanak-kanak yang belajar huruf-bunyi dengan mudah lebih cenderung mempunyai kemahiran fonologi yang baik.\nPengetahuan huruf menyumbang kepada kemahiran penyahkodan dalam pengajaran kanak-kanak prasekolah dan tadika dari aspek kesedaran fonemik. Pengetahuan mengenai huruf atau bunyi ialah prasyarat penting untuk kanak-kanak mempelajari bacaan dan ejaan dalam ortografi abjad seperti bahasa Inggeris.\nKanak-kanak disleksia turut menghadapi cabaran dalam menyesuaikan bunyi dengan huruf yang tertentu. Contohnya, bunyi /pa/ dan /ba/, bunyi /ta/ dan /da/. Hal ini disebabkan oleh kesedaran fonologi atau pemprosesan fonologikal yang lemah dalam kalangan mereka.\nKajian yang dijalankan oleh Fawcett dan Nicolson (1994) mendapati bahawa kanak-kanak yang didiagnosis dengan masalah disleksia lebih perlahan dalam penamaan warna, nombor dan huruf daripada kanak-kanak normal.\nMereka juga tidak mempunyai kemahiran membaca yang setaraf dengan tahap usia mereka dan hal ini secara langsung menunjukkan bahawa mereka akan mempunyai masalah bacaan yang berterusan.\nOleh itu, kanak-kanak disleksia perlu menguasai pengetahuan huruf untuk mengembangkan kemahiran membaca. Mereka perlu mengaplikasikan pemahaman huruf dalam bacaan. Kelemahan dalam keseluruhan pendekatan bahasa ialah punca ketiadaan instruksi fonik yang sistematik pada tahap awal.\nKemampuan mengenal perkataan dengan cepat dan tepat disebut sebagai pemprosesan leksikal dan kemahiran ini penting dalam proses membaca. Oleh itu, kaedah terbaik untuk menilai pengenalpastian huruf adalah dengan menggunakan ujian membaca satu perkataan yang menghalang penggunaan psikolinguistik, gambar dan isyarat mengikut konteks.\nLee dan Wheldall (2011) mengkaji pemerolehan kosa kata bahasa Melayu dan mendapati bahawa pengetahuan suku kata dan penggabungan fonem ialah petanda pemerolehan kosa kata yang signifikan. Hal ini menunjukkan bahawa kedua-dua suku kata dan fonem penting dalam pemerolehan kosa kata bahasa Melayu.\nMereka juga menganalisis kesalahan bacaan dan membuktikan bahawa kesalahan bacaan banyak dilakukan oleh kanak-kanak disleksia kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan dan kebolehan yang cukup dalam aspek segmentasi huruf dan bunyi.\nDalam kemahiran mengeja, kanak-kanak perlu menguasai bunyi dan huruf. Pada tahap asas mengeja, mereka akan belajar untuk mewakili bunyi dengan huruf dan pembelajaran ini memerlukan pemetaan dua arah antara aspek fonologi dengan simbol bertulis. Proses ini yang banyak mencabar kanak-kanak disleksia yang mempunyai kecelaruan dalam kemahiran fonologi.\nSecara umumnya, kanak-kanak perlu memperoleh pengetahuan tentang hubungan antara bunyi dan huruf dan pengetahuan ini memerlukan pembelajaran fonologi dalam bahasa. Selepas menguasai kemahiran asas ini, kanak-kanak akan melambangkan dan menyesuaikan bunyi dengan huruf, iaitu simbol bunyi.\nKesukaran literasi kanak-kanak disleksia dapat dilihat dari segi ejaan. Mereka mempunyai masalah dalam membunyikan suka kata secara serentak dalam bacaan. Secara umumnya, pengetahuan grafem\u2212fonem secara eksplisit dan segmentasi suku kata penting dalam penguasaan bahasa.\nKemahiran mengeja juga mensyaratkan kanak-kanak disleksia untuk mengetahui hubungan fonologi dengan fonem. Kemahiran ejaan juga lebih sukar untuk dikuasai kerana tidak boleh menggunakan konteks. Oleh sebab itu, kanak-kanak disleksia lebih mempunyai kesukaran untuk mengeja.\nDi samping itu, kemahiran ejaan juga mempertimbangkan daya memori kanak-kanak disleksia. Faktor ini ditekankan dalam kemahiran mengeja kerana proses ini berkaitan dengan pengintegrasian kognitif dan kinestetik. Tambahan pula, ada perbezaan yang signifikan dalam sifat kesalahan ejaan kepada kanak-kanak disleksia.\nMereka menunjukkan lebih banyak kesalahan \u201cfonetik yang tidak dapat diterima\u201d daripada kanak-kanak normal. Dalam kata lain, kesalahan ini merujuk kekurangan penguasaan fonetik. Mereka mungkin belum menguasai representasi fonologi tetapi menggunakan strategi penamaan huruf untuk mengeja secara fonologi.\nKesimpulannya, kanak-kanak disleksia mampu untuk mempertingkatkan kebolehan literasi, khususnya dalam bacaan dan tulisan. Mereka perlu diberi keutamaan dalam penyediaan pengalaman pembelajaran yang baharu dan holistik serta keseronokan supaya tidak ketinggalan banyak dalam pembelajaran.\nGuru juga boleh menyampaikan pengajaran mereka dengan melibatkan murid dalam aktiviti pembelajaran yang berbentuk multisensori. Pengamalan pengajaran yang menggunakan pelbagai input sensori murid yang berbeza seperti \u00a0visual, auditori, taktil dan kinestetik mampu meningkatkan lagi kualiti dan hasil pembelajaran tersebut.\nSelain itu, guru perlu merancang bahan pengajaran dan menyediakan suasana pembelajaran yang seronok dan interaktif untuk memudahkan proses pembelajaran murid. Misalnya, penggunaan buku bergambar, bahan audio dan video, lukisan, permainan, nyanyian, cerita dan seni. Kaedah ini mempunyai potensi untuk memudahkan pemikiran, pembelajaran, dan pembinaan literasi kanak-kanak disleksia." "Kerjasama Ahli Persatuan Munsyi Dewan (Jawi) dalam Penerbitan Kamus Dewan Perdana Edisi Kedua\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kamus diibaratkan sebagai khazanah ilmu yang unggul dan ulung bagi menggambarkan peradaban tamadun sesuatu bangsa dan negara. Kehebatan dan keunggulan kamus terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pula memang tidak dapat disangkal lagi dalam kalangan masyarakat yang sentiasa menjadikan kamus terbitan DBP sebagai bahan rujukan utama.\nSehubungan dengan itu, Bahagian Perkamusan, DBP, telah mengundang Ahli Persatuan Munsyi Dewan (Jawi) ke Wisma DBP untuk sesi perkongsian ilmu, iaitu program \u201cBersahabat dengan Kamus\u201c. Penganjuran program ini hasil rentetan daripada Muzakarah Jawi yang telah diadakan pada 18 Disember 2022. \nKamus Dewan Perdana dipilih dan dikongsikan cara penggunaannya dalam program tersebut. Pegawai kanan dari Bahagian Perkamusan, iaitu Puan Siti Norsuhaila Samsudin, yang dibantu oleh Puan Rohana Abdul Rahman, Tuan Syed Mohd. Yasir Syed Ahmad dan Puan Farah Idayu Johari turut terlibat dalam sesi perkongsian ilmu ini dengan Ahli Persatuan Munsyi Dewan (Jawi).\nProgram yang berlangsung selama setengah hari di Wisma DBP, dan disertai oleh 20 orang peserta daripada Ahli Persatuan Munsyi Dewan (Jawi), iaitu guru KAFA, guru Pendidikan Islam dan pensyarah Bahasa Melayu dari Institut Pendidikan Guru Malaysia mendapat sambutan yang baik dan berlangsung dengan jayanya.\nAntara tujuan program ini dilaksanakan termasuklah untuk memahami dan mendalami cara penggunaan kamus yang betul serta berkesan oleh guru di dalam bilik darjah dengan pelajar sekolah. Selain itu, program ini juga dapat mempromosikan Kamus Dewan Perdana yang merupakan produk kamus terlaris yang terkini terbitan DBP.\nTerlebih dahulu, menerusi ucapan alu-aluan Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, yang diwakili oleh Encik Mohd Fadzli Tajuid (Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi), kerjasama amat diperlukan daripada Ahli Persatuan Munsyi Dewan (Jawi) bagi mempercepat proses penerbitan Kamus Dewan Perdana Edisi Kedua menerusi penyemakan entri ejaan Jawi yang dimasukkan dalam kamus tersebut.\nMenurut beliau, kerja penyemakan entri ejaan Jawi dalam Kamus Dewan Perdana sebelum ini dilakukan oleh kumpulan sidang editor yang mengambil masa yang lama untuk kerja penyemakan. Oleh itu, beliau berharap agar Ahli Persatuan Munsyi Dewan (Jawi) dapat bekerjasama dalam membantu menyemak ejaan Jawi kerana DBP sedang mengusahakan penerbitan Kamus Dewan Perdana Edisi Kedua yang berpandukan buku Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu Dewan.\nProgram \u201cBersahabat dengan Kamus\u201c ini merupakan acara rutin anjuran Bahagian Perkamusan, DBP, dalam usaha mempromosikan kamus terbitan DBP sama ada secara sesi perkongsian ilmu mahupun menerusi permainan \u201cRoda Kata\u201c. Maklumat yang terdapat dalam kamus wajar dikongsi dan disebarluaskan agar pengguna bahasa termasuklah masyarakat negara ini dapat menghargai kamus terbitan DBP sebagai khazanah bangsa dan negara." "DBP Bantu RTC Betong Perkasakan Penulisan Dokumen Rasmi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBetong \u2013 Penulisan dokumen rasmi yang baik bukan sahaja akan meningkatkan imej jabatan, malah berupaya menjadi wadah penyebaran bahasa Melayu kepada khalayak. Oleh itu, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Betong, Sarawak, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak semalam telah menganjurkan Program Bimbingan Penulisan Dokumen Rasmi untuk kakitangan Majlis Daerah Betong di Pejabat RTC Betong, yang bertujuan untuk membantu mereka meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam penulisan dokumen rasmi.\nProgram selama sehari itu melibatkan 21 orang kakitangan Majlis Daerah Betong dari pelbagai bahagian, iaitu Bahagian Pembangunan Komuniti, Bahagian Penguatkuasaan, Bahagian Kewangan, Bahagian Khidmat Pengurusan dan lain-lain. Program tersebut telah dibimbing oleh Encik Ja\u2019afar Haji Hamdan (Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sarawak) dan Puan Intan Nur-Izzati Shabri dari Unit Pembinaan Bakat, DBP Cawangan Sarawak\nMelalui program ini, para peserta diberi maklumat tentang format penulisan surat rasmi dan minit mesyuarat selain perkongsian berkaitan dengan ejaan dan tatabahasa yang tepat. Sehubungan dengan itu, para peserta diperkenalkan dengan penggunaan aplikasi Kamus Pro bagi memudahkan mereka memilih perkataan yang sesuai digunakan dalam penulisan. Sementara itu, pembimbing turut mempromosikan laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) dan Bahagian Khidmat Nasihat Bahasa bagi mendapatkan contoh penggunaan perkataan dalam ayat.\nRata-rata peserta sangat responsif sepanjang program ini diadakan. Pelbagai soalan diajukan dan antaranya berkenaan dengan kekeliruan yang mereka hadapi semasa menyediakan dokumen rasmi. Mereka juga mencadangkan agar kursus seperti ini dan kursus lanjutan dapat dianjurkan pada masa akan datang dengan penyertaan kakitangan dari jabatan lain.\nProgram ini berupaya meningkatkan dan memperkasakan penggunaan bahasa Melayu yang baik dalam kalangan kakitangan kerajaan kerana mereka menjadi rujukan dan panduan masyarakat dalam urusan rasmi. Semoga penggunaan bahasa kebangsaan terus terpelihara dan dimartabatkan penggunaannya dalam kalangan generasi muda khasnya." "Aktiviti Kebahasaan Meriahkan Program Pameran dan Jualan Buku DBP di SK Triang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSerian \u2013Bagi merealisasikan manifestasi program yang terkandung dalam AGENDA 2023, tiga unit di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, iaitu Unit Pemasaran dan Pengedaran, Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) dan Unit Pembinaan dan Penyelidikan telah mengorak langkah dengan menerima jemputan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Triang, Serian, Sarawak, untuk mengadakan program Pameran dan Jualan Buku terbitan DBP baru-baru ini.\nAntara objektif penganjuran program ini adalah untuk mempromosikan bahan terbitan DBP kepada khalayak umum terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah melalui program \u201cBersahabat dengan Kamus\u201d, menyediakan kegiatan yang mampu memanfaatkan buku dan majalah DBP sebagai satu wahana memupuk, mendidik dan menyemai ilmu pengetahuan para pelajar terutamanya di luar bandar serta menarik minat para pelajar untuk mengetahui dengan lebih lanjut cara menggunakan perkhidmatan DBP.\nProgram ini bermula dengan sesi pendaftaran oleh para pelajar dari Tahun Satu hingga Tahun Enam. Kemudian, disusuli dengan sesi pengenalan \u201cBersahabat dengan Kamus\u201d, yang disampaikan oleh Puan Coretta Herliana Kura dari Unit Pembinaan dan Penyelidikan Bahasa.\nSelain daripada jualan buku, pameran dan kuiz bahasa yang dikelolakan oleh Puan Fatin Nabilah Nor Ekhsan dari PDM, turut diadakan bagi menarik minat para pelajar untuk belajar sambil bermain kuiz secara digital dalam mendalami penggunaan bahasa Melayu dengan betul.\u00a0 Antara bahan pameran tersebut termasuklah aplikasi dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh DBP seperti Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), JendelaDBP, Portal e-Borneo dan Gerbang Kata.\nTerdahulu, Encik Janie Limin (Guru Besar SK Triang) dan Puan Nurul Qamarina Dais (Guru Perpustakaan dan Media SK Triang), menzahirkan penghargaan kepada DBP Cawangan Sarawak kerana sudi memenuhi jemputan pihak sekolah untuk mengadakan pameran dan jualan di sekolah tersebut.\nEncik Janie Limin menambah, kehadiran pihak DBP\u00a0secara tidak langsung dapat membantu para pelajar, guru serta ibu bapa di kawasan pedalaman di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) N.22 Kedup membeli buku dan majalah tanpa perlu pergi ke bandar yang jauh perjalanannya. \nTambah beliau lagi, aktiviti kebahasaan yang diadakan bersempena dengan program tersebut berupaya menambah minat pelajar mendalami serta memantapkan penggunaan bahasa Melayu dengan betul. Antara buku yang mendapat sambutan hangat di gerai jualan dalam program tersebut termasuklah Tatabahasa Dewan Edisi Sekolah Rendah, buku kanak-kanak dan buku cerita." "Kod Isyarat Tangan Perlu Diperluas dalam Kalangan Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Individu yang dilahirkan dalam keadaan istimewa ataupun mengalami kelainan upaya dalam pertuturan atau pendengaran bukanlah penghalang untuknya berkomunikasi dengan individu lain dan mempelajari bahasa. Oleh sebab itu, wujudnya kod isyarat tangan. Menyentuh perihal kod isyarat tangan ini, siri rancangan Cakna Bahasa anjuran BERNAMA Radio telah menampilkan Hauzalazla Mohamed, guru SMK Sultan Abdul Samad, Klang, yang juga seorang penulis untuk mengupas tajuk \u201cKod Isyarat Tangan\u201d.\nDalam program tersebut, beliau menjelaskan secara ringkas perihal murid berpendidikan khas.\nMurid berpendidikan khas ialah individu yang diperakui oleh pengamal perubatan seperti ahli optik, ahli audiologi dan ahli psikologi. Bahkan murid berpendidikan khas berkenaan akan didiagnos oleh pakar sebagai murid yang mempunyai kelainan keupayaan seperti penglihatan, pendengaran, pertuturan dan ciri fizikal lain.\nBeliau juga berkongsi pengalamannya dalam menghasilkan buku Siri Cekap Bahasa dan Tulis: Membaca dan Berhibur, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau berkata, rasa keterujaan menulis buku tersebut bermula sewaktu terlibat menjadi Penggubal Kurikulum (Suaian) di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).\nMenurut beliau, penghasilan buku tersebut memakan masa lebih kurang enam tahun hingga tujuh tahun. Beliau menghasilkan buku Siri Cekap Bahasa dan Tulis: Membaca dan Berhibur, sebanyak 10 buah.\nBuku ini menekankan aspek membaca, menulis dan kod isyarat tangan. Buku ini juga bukan sahaja untuk anak-anak kelainan upaya pendengaran, bahkan kita boleh sebar luaskannya kepada masyarakat umum.\nBeliau turut mengupas perihal perbezaan di antara kod isyarat tangan dengan bahasa. Katanya, \u201cBahasa ialah yang kita tuturkan seperti bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Cina dan bahasa Tamil. Ada perkataan yang dituturkan. Untuk murid kelainan keupayaan pendengaran, asalnya pemerolehan bahasa bermula sejak tahun 1985. Pada masa itu, mereka menggunakan American Sign Language (ASL) dan British Sign Language. Maknanya mereka sudah ada kod isyarat tangan pada ketika itu\u201c.\nDi Malaysia, bermula pada tahun 1985, KPM telah menghasilkan senaskhah buku kod tangan yang berjudul Bahasa Malaysia Kod Tangan. Dalam buku itu diterangkan bahawa kod tangan bukan bahasa isyarat. Kod tangan tercipta daripada perkataan bahasa. Apabila sudah menghasilkan kod tersebut, maka kod itu menjadi medium kepada anak istimewa untuk mempelajari bahasa. Penulisan buku itu pula mestilah mengikut tatabahasa yang betul.\nBeliau juga menegaskan bahawa pembelajaran kod isyarat tangan dalam kalangan masyarakat umum adalah sesuatu yang sangat dialu-alukan. Hal ini demikian kerana individu istimewa tersebut juga menjalani kehidupan seperti manusia lain. Sebagaimana ujar beliau, \u201cMereka mempunyai keluarga, berkahwin, mempunyai anak dan kehidupan sama seperti kita. Sebagai contoh, kod isyarat tangan perlu diketahui di hospital dan balai polis supaya dapat menyantuni mereka. Di Malaysia, kod isyarat tangan ini perlu diperluas dalam kalangan masyarakat kerana mereka sebahagian daripada masyarakat kita\u201d.\nHarapan yang tinggi turut disuarakannya agar buku-buku yang beliau hasilkan itu mendapat sambutan daripada pelbagai lapisan masyarakat. Buku-buku tersebut juga perlu digunakan sebagai modul pembelajaran di peringkat Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK), Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), prasekolah, dan aliran perdana selain perlu berada di seluruh perpustakaan, universiti dan Institut Pendidikan Guru sebagai bahan rujukan.\nMengenai harapan dan cita-cita saya, saya berharap semoga buku ini akan sampai ke Brunei dan Singapura. Marilah kita sama-sama berganding bahu menyantuni anak-anak istimewa ini untuk mendapat pendidikan yang sewajarnya demi kesejahteraan sejagat." "Keunikan Dialek Kelantan dalam \u201cKayanya Bahasa Kita\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Malaysia terkenal dengan kepelbagaian dialek yang unik. Satu daripadanya ialah dialek Kelantan. Sehubungan dengan itu, perbualan dan interaksi secara langsung tentang keunikan dialek Kelantan ini telah disiarkan secara langsung semalam dalam rancangan Rampai Budaya, \u201cKayanya Bahasa Kita\u201c, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dan Radio Malaysia KELANTANfm. Rancangan ini bersiaran pada pukul 5.00 petang hingga 6.00 petang menerusi Radio KELANTANfm, bersama dengan juruhebah Abe Dik dan Tuan Haji Mohammed Haron (Munsyi Dewan).\nProgram yang bersiaran selama satu jam ini dapat memberikan ruang dan peluang kepada orang ramai, khususnya para pendengar Radio KELANTANfm untuk mempelajari dan berkongsi tentang loghat Kelantan secara santai dan terperinci. Rancangan ini bersifat interaktif\u00a0 dan para pendengar dapat menyuarakan pertanyaan yang berkaitan dengan topik yang dibincangkan secara langsung kepada Munsyi Dewan.\nDalam perkongsian tersebut, Tuan Haji Mohammed Haron melontarkan beberapa perkataan dalam loghat Kelantan. Antara perkataan dalam ayat yang dibincangkan dalam loghat Kelantan tersebut termasuklah \u201cRalit wei dengar kecek Kelate\u201d, yang bermaksud tidak jemu mendengar perbualan dan \u201cTawar hebeh kuoh lakso\u201d yang bermaksud rasa kuah laksa yang tawar.\nPesanan turut dititipkan kepada para pendengar oleh Radio Kelantan fm yang berbunyi \u201cSepatah kata berjuta makna, meniti bibir warisan bangsa, menjadi kalam berbicara mesra, betapa kayanya bahasa kita sebagai penyambung lidah pendekar, segalanya terhimpun dalam rampai budaya\u201d." "Pemerkasaan Bahasa Melayu melalui KSBM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Majlis penyerahan buku Kerangka Standard Bahasa Melayu\u00a0telah diadakan pada pukul 10.00 pagi tadi di Akademi DBP, Wisma DBP, yang mempertemukan tiga pihak, iaitu Institut Perguruan Malaysia (IPGM), Institut Perguruan Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nBuku tersebut diserahkan oleh Rektor IPGM, iaitu YBrs. Dr. Rosli Yacob kepada Ketua Pengarah DBP, iaitu Dr. Hazami Jahari sebagai simbolik bahawa DBP sebagai institusi yang memartabatkan bahasa Melayu bertanggungjawab untuk memperluas, mengembangkan dan menyebarkan penggunaan Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) dalam semua bidang seperti pendidikan, perkhidmatan, pekerjaan di Malaysia dan seterusnya ke peringkat antarabangsa. Pengukuran ini meliputi penutur jati bahasa Melayu dan juga kepada warga asing yang mempelajari bahasa Melayu.\nKSBM merupakan rujukan penting kerana dokumen ini merupakan rujukan bagi menentukan tahap kompetensi berbahasa Melayu, mengawal kualiti bahasa pengguna bahasa Melayu dan menyetarakan standard kompetensi bahasa Melayu.\u00a0 Bagi memastikan penyebaran dan penggunaan KSBM ini, DBP telah dipertanggungjawabkan sebagai sekretariat KSBM melalui Jawatankuasa Penarafan KSBM (JPKSBM), yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), DBP.\nMajlis penyerahan buku ini turut dihadiri oleh Dr. Zanariah Ibrahim (Ketua Penolong Pengarah IPGM), Puan Nor Asilah Othman (Pengarah IPGKBM), serta panel JPKSBM, iaitu Tuan Haji Md. Johari Hasan (Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP selaku Pengerusi JPKSBM), Dr. Wan Norlidza Wan Mohd. Zain (IPGKBM), Prof. Madya Dr. Karim Harun (Universiti Kebangsaan Malaysia), Dr. Mazlan Ismail (BPK), Dr. Azhar Md. Sabil (Universiti Putra Malaysia), Tuan Haji Khaidir Othman (Lembaga Peperiksaan Malaysia), dan Encik Khairulanuar Ismail, (IPG Kampus Ipoh). Yang turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua Akademi DBP, Dr. Haji Santrol Abdullah, serta pegawai Akademi DBP, selaku urus setia.\nKetua Pengarah DBP dalam ucapan penutupannya semasa Majlis Penyerahan KSBM berkata bahawa KSBM akan menjadi agenda utama dalam Pelan Pemerkasaan Bahasa Melayu oleh DBP dan akan mewujudkan unit khusus di DBP dalam menyelaraskan hala tuju dan pengoperasian KSBM. Majlis Penyerahan ini juga disusuli dengan Mesyuarat Sekretariat JPKSBM bagi menyelaraskan hal pengoperasian KSBM di bawah JPKSBM.\nUntuk rekod, usaha untuk mewujudkan kerangka rujukan standard berbahasa Melayu ini telah diterjemahkan melalui pembangunan KSBM yang bermula pada tahun 2016 oleh sekumpulan panel yang mempunyai kepakaran dalam bahasa Melayu. Penguasaan berbahasa Melayu rakyat Malaysia perlu diukur melalui suatu mekanisme untuk melihat tahap kecekapan dan kemahiran mereka dalam menggunakan bahasa Melayu. Kemahiran ini meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis.\u00a0\nUsaha pembangunan ini berterusan sehinggalah pembentangan KSBM kepada Lembaga Pengelola DBP pada tahun 2021 dan telah diperakukan sebagai rujukan standard kompetensi bahasa Melayu. Bermula daripada perakuan tersebut, KSBM telah digunakan sebagai rujukan kurikulum, pentaksiran dan modul di Kementerian Pendidikan Malaysia." "NGO Berperanan dalam Memartabatkan Bahasa Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013Buat julung-julung kalinya sebanyak 78 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) telah berjaya dihimpunkan pada hari ini menerusi program Wacana 152, yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Negeri Kelantan di Dewan Utama, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM). Program ini turut dijayakan dengan kerjasama Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, USM dan Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN).\nProgram Wacana 152 ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP dan turut dihadiri ialah Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato\u2019 Paduka Mohamad (Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP), Puan Ariza Haji Che Ismail (Pengarah DBP Wilayah Timur), Puan Dalila Diyana Mat Zaid (Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Negeri Kelantan) dan Puan Enikartini Daud (Pengerusi Rancangan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan USM), yang mewakili Pengarah Kampus USM.\nYBhg. Dr. Hazami dalam ucapan perasmiannya pula berkata, bagi menjamin kedaulatan bahasa kebangsaan di negara ini, semua pihak perlu bersama-sama dan berganding bahu dengan DBP.\nDBP melihat peranan NGO juga harus dilibatkan. Peranan NGO dalam menyantuni masyarakat sememangnya tidak boleh dinafikan, terutamanya dalam hal yang berkaitan dengan pendidikan, kebajikan, kemiskinan, bantuan bencana alam dan sebagainya. Begitu juga dalam isu bahasa kebangsaan, DBP memerlukan NGO yang boleh menjadi suara dan penggerak dalam memupuk kesedaran masyarakat agar menghargai dan menjaga bahasa kebangsaan menerusi pelbagai wahana seperti kempen, promosi, kegiatan dan sebagainya.\nUcap utama Wacana 152 yang mengutarakan topik \u201cPeranan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam Pemartabatan Bahasa Kebangsaan pula telah disampaikan oleh Presiden PERADABAN, YBhg. Dato\u2019 Haji A. Aziz Deraman.\nSementara itu, Puan Dalila Diyana Mat Zaid dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa program ini diadakan susulan kepada pendekatan kerajaan yang ingin mewujudkan segmen yang berkesan melalui platform kolaborasi dengan agensi berkepentingan bagi mempertingkatkan kualiti dan profesionalisme penyampaian sektor awam.\nYang lebih penting adalah memperlihatkan satu kesatuan buah fikiran bagi membangunkan lebih banyak jaringan kerjasama strategik pelbagai hala. Katanya lagi, program ini berupaya merealisasikan impian untuk memperkasakan bahasa kebangsaan melalui acara dan aktiviti yang melibatkan seluruh masyarakat.\nBagi program Wacana 152, ahli panel yang ditampilkan ialah YM Dr. Raja Shamri Raja Hussin (Abang Raja), yang merupakan Pengerusi Eksekutif, Yayasan Raja Shamri. Yayasan Raja Shamri merupakan sebuah pertubuhan yang diasaskan untuk memberikan inspirasi kemanusiaan kepada masyarakat dengan berbuat baik, mengajak semua berbuat baik dan meraikan kerja kebaikan dan kebajikan serta mempermudah penyampaian bantuan dengan cara telus dan terus tanpa protokol atau birokrasi supaya bantuan diterima dengan pantas demi memberikan kehidupan yang lebih baik kepada golongan yang memerlukan.\nAhli panel lain pula ialah YBrs. Dr. Nor Hafidzah Mustakim dari Persatuan Pertubuhan PRIHATIN Kelantan, dan dua orang anak muda yang cukup dikenali serta aktif dalam bidang masing-masing, iaitu Encik Fendi Kenali dari Persatuan Kebajikan Anak Seni Kelantan (PAKATAN) dan Encik Muhammad Nur Azam Ghazali dari Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia Negeri Kelantan (MAYC). Wacana ini dikendalikan oleh Encik Roslan Abdul Rahman dari Persatuan Belia Asal Kelantan, selaku moderator.\nObjektif program ini adalah untuk memberikan kesedaran kepada kumpulan NGO akan tanggungjawab untuk sama-sama menjaga kedaulatan bahasa kebangsaan serta menyediakan ruang kepada NGO untuk berkongsi pengalaman serta inisiatif yang telah dan bakal dilakukan oleh mereka dalam membantu usaha DBP dalam mengembangkan bahasa dan sastera.\nMelalui program ini juga, NGO juga berpeluang mendapat pendedahan tentang peranan dan perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia bagi mewujudkan sebuah pertubuhan yang berkualiti.\nKesepaduan tenaga dan idea yang bakal dihulurkan oleh pelbagai NGO akan merancakkan lagi pelaksanaan program baharu untuk dimanfaatkan kepada seluruh lapisan masyarakat di Wilayah Timur." "Bahasa Melayu sebagai Kuasa Lunak Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Wacana 152: Peranan NGO dalam Pemartabatan Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNGO, iaitu Non-Governmental Organization (Pertubuhan Bukan Kerajaan) merupakan badan atau pertubuhan sukarela yang bergerak dalam bidang sosial, ekonomi, kebudayaan, alam sekitar, kesihatan, pembasmian kemiskinan, budaya dan sastera atau pendidikan dengan matlamat dan fungsi\u00adnya yang tertentu. NGO ditubuhkan untuk memperjuangkan suatu kepentingan awam dan bukannya individu atau komersial. Di negara ini, NGO berdaftar bergerak menggunakan landasan seperti yayasan, persatuan, kelab atau kumpulan.\nDari aspek bahasa, usaha melibatkan NGO juga dilihat sangat penting dalam usaha membantu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Usaha ini sememangnya telah pun dilaksanakan, sedang dan akan terus diusahakan dengan sokongan dan dokongan pelbagai pihak dengan cara masing-masing demi kebaikan bersama.\nSehubungan dengan itu, satu program Wacana 152 telah dianjurkan pada hari ini oleh DBP Wilayah Timur dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Negeri Kelantan, yang turut dijayakan dengan kerjasama Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan, dan Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN).\u00a0\nYang berikut merupakan inti pati ucap utama Presiden PERADABAN, YBhg. Dato\u2019 Haji A. Aziz Deraman, yang bertajuk \u201cPeranan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam Pemartabatan Bahasa Kebangsaan\u201c.\n************************************************************************************\nApakah itu NGO atau pertubuhan dan badan-badan bukan kerajaan? Siapakah para pemimpin dan ahli-ahli mereka? Ada NGO Melayu dan ada NGO bukan Melayu. Ada yang campuran antara kaum dan etnik. Ada ribuan NGO yang berdaftar di Malaysia yang merangkumi gerakan sukarela dalam pelbagai bidang, yakni kegiatan sosial, kebudayaan, kesenian, persuratan, perikanan, pertanian, sukan, kebajikan, belia, wanita, agama, khairat dan banyak lagi.\nDi Kelantan, antara NGO yang ada adalah seperti Majlis Kebudayaan Negeri (MKN), Majlis Belia Negeri (MBN), Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dan Angkatan Belia Islam (ABIM). Peranan mereka dalam aneka macam gerakan bukan sedikit.\nNGO sudah sekian lama wujud di Malaysia. Kesemuanya didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS) (Jabatan Pendaftaran Negeri atau Malaysia), manakala syarikat, badan perniagaan atau perdagangan terletak di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang berfungsi sebagai Pendaftar Syarikat (ROC).\nApakah pula erti pemartabatan? Kenapakah kita masih mahu bercakap tentang martabat bahasa kebangsaan? Martabat itu maknanya kedudukan sesuatu pada mata masyarakat, darjatnya, tingkatnya, bermartabat atau tidak. Sudahkah kita jadikan sesuatu itu bermartabat?\nMaksud pemartabatan itu ialah perihal usaha atau upaya yang bertujuan mengangkat sesuatu perkara ke tahap yang lebih tinggi. Siapakah pemartabatnya jika tidak orang atau golongan atau pihak yang menggerakkan pemartabatan itu? Kita boleh sahaja mengatakan kepada seseorang atau golongan sebagai pejuang dan pemartabat bahasa. Mereka itu harus bersedia berdepan dengan berbagai-bagai masalah, ujian dan cabaran.\nJikalau dikatakan ada sesuatu pihak yang tidak sealiran dengan aspirasi perjuangan dan pemartabatan bahasa, mungkin mereka itu lebih bersenang-senang bahkan selesa dengan penggunaan bahasa asing. Mereka tidak memandang penting kepada usaha pemartabatan bahasa negara sendiri.\nKata martabat itu menunjukkan kedudukan sesuatu darjat atau tingkat sehingga mencapai tahap bermartabat, yakni memiliki suatu macam maruah dan jati diri. Apabila dikatakan bermartabat, bermakna kedudukan bahasa itu juga mempunyai martabat.\nDalam usaha pemartabatan itu, memang diperlukan sesuatu pihak, orang atau golongan yang sedar mahu bertindak bersama-sama memartabatkan bidang tertentu kehidupan, seperti kemajuan ekonomi, bahasa, sastera dan budaya, bahkan memelihara kehidupan fauna dan flora. Pihak, orang atau golongan ini akan dipanggil pemartabat. Untuk memartabatkan bahasa, maka sebagai pejuang dan pemartabat, seseorang itu atau golongan para pemimpin NGO perlu bersedia berdepan dengan berbagai-bagai masalah dan cabaran.\nDasar Bahasa Negara \nApakah kita benar-benar faham bahawa kemerdekaan 1957 (dan pembentukan Malaysia 1963), arah tuju pembangunan negara dan pembinaan bangsanya adalah ke arah mewujudkan sebuah negara bangsa Malaysia? Bahasa adalah asas pembinaan tamadun dan paksi kepada konsep kenegaraan tersebut. Pengembangan dan penggunaan bahasa kebangsaan adalah untuk semua bidang dan peringkat kehidupan.\nApakah kita benar-benar menghayati aspirasi Perlembagaan Persekutuan: tentang struktur pemerintahan dan pentadbiran sebuah persekutuan, makna kontrak sosial, konsep, prinsip dan pancang-pancang kenegaraan? Prinsip utamanya \u201cRaja Berperlembagaan Demokrasi Berparlimen\u201c: ada unsur sejarah dan budaya yang menjadi teras negara kebangsaan, maka bahasa kebangsaan itu adalah jati diri atau keperibadian bangsa Malaysia.\nPerlembagaan Persekutuan merupakan perundangan induk yang tertinggi kepada negara dan kenegaraan. Cuba tanya, kenapakah penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam semua ranah kehidupan di Malaysia sering menjadi persoalan? Sektor awam adalah fasilitator kemajuan negara. Ada peranan besar semua agensi sektor awam, swasta, institusi dan organisasi awam atau pertubuhan dalam mendukung Dasar Bahasa Kebangsaan. Di manakah letaknya teladan kebahasaan, perluasan pengembangan dan pembinaannya?\nPelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan itu adalah menjadi \u201cTanggung Perlembagaan\u201c. Semua pihak wajib melaksanakannya secara integral dan bersama-sama merealisasikan perkara peruntukan dalam Perlembagaan dan undang-undang yang berkaitan. Peranan ini bukan terletak ke atas bahu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semata-mata. DBP ialah agensi pembangunan dan pembinaannya termasuk dalam aspek pembakuan bahasa dari segi ejaan, sebutan, istilah dan peranannya mengisi kepustakaan ilmu dalam bahasa Melayu.\nBahasa kebangsaan Malaysia ialah bahasa Melayu. Istilah bahasa Melayu ialah istilah ilmu dan nama bahasa Malaysia digunakan dalam konteks politik. Fungsi bahasa Melayu diperkukuh lagi dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Ada Akta khusus DBP sebagai agensi pelaksana.\nPerkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan memaktubkan \u201cBahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen\u201d dan Perkara 152 (6) menegaskan \u201cDalam Perkara ini, maksud rasmi ertinya apa-apa jua maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam\u201d.\nSecara ringkasnya, perlembagaan dan undang-undang Malaysia telah menetapkan Dasar Bahasa Negara seperti yang berikut:\n* Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia.\n* Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi bagi melaksanakan maksud Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).\n* Rakyat Malaysia tidak dilarang menggunakan, belajar atau mengajar bahasa lain.\nApakah seluruh rakyat, pertubuhan politik, semua peringkat agensi dan institusi serta pertubuhan sukarela bersifat NGO faham bahawa bahasa bukan sekadar dimaksudkan untuk \u201cmenulis\u2019\u201c dan \u201cbercakap\u201c atau tulisan dan lisan.\nBahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi itu berfungsi sebagai:\n* Wahana jati diri kebangsaan.\n* Wahana komunikasi dan perpaduan bangsa.\n* Bahasa Melayu untuk keperluan dalam negara:\n* Fungsi komunikatif bahasa kebangsaan dan fungsi rasmi bahasa kebangsaan, \u201cSatu bahasa kebangsaan bagi sebuah negara bangsa Malaysia\u201d.\nDengan demikian, Malaysia mempunyai Dasar Bahasa Negara tersendiri. Soalnya, apakah dasar ini sentiasa dijunjung, dipatuhi dan dilaksanakan semua pihak dan golongan Kesemua mereka itu wajib bertindak bersama dalam memartabatkannya ke tahap yang tertinggi dalam kehidupan masyarakat kita yang bernegara dan berbangsa.\nDi negara-negara maju di Eropah dan Asia, usaha memartabat, memantap dan memperkasakan bahasa di negara mereka dilakukan tanpa dolak dalik lagi. Kenapakah pula di Malaysia sejak kemerdekaan bahkan pada awal tahun 1990-an, negara ini terus berhadapan dengan dilema bahasa?\nApakah sukar dimengerti bahawa bahasa Melayu itu berfungsi sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, wahana perpaduan dan keilmuan? Statusnya tidak sama dengan mana-mana bahasa kaum atau etnik. Sedarkah kita bahawa status bahasa kebangsaan itu adalah salah satu tonggak kenegaraan?\nNegara dan Bangsa Malaysia \nSejauh manakah rakyat memahami peruntukan undang-undang Malaysia yang telah menetapkan bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan, menjadi bahasa rasmi bagi melaksanakan maksud-maksud Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)? Apakah rakyat Malaysia memahami bahawa mereka tidak dilarang menggunakan, belajar atau mengajar bahasa ibunda sendiri dan bahasa-bahasa lain?\nPersoalannya, apakah bahasa Melayu sudah benar-benar diamalkan dengan betul dan benar sebagai bahasa kebangsaan di semua peringkat dan lapisan?\nApabila disebut \u201cBahasa Menunjukkan Bangsa\u201c atau \u201cBahasa Jiwa Bangsa\u201c, natijah sebaliknya ialah bagaimana citra Malaysia itu terserlah jati diri bangsanya dalam berbahasa, mantap penggunaan bahasa kebangsaannya. Sejauh manakah aspek kesopanan dan kesantunan berbahasa dipelihara?\nApakah yang dimaksudkan dengan negara bangsa? Bukankah satu bangsa bagi satu negara (Istilah: A Single Nation in A Single State). Bangsa itu \u201cnation\u2019\u201c= nasionalisme. \u201cRace\u201c = racialisme atau racisme. Malaysia sebuah negara kebangsaan (nation state): ada dasar kebangsaan dan ada gagasan, institusi dan lambang kenegaraan.\nAntara tiga prinsip yang perlu diperhatikan ialah:\n* Prinsip penerimaan\n* Prinsip Perlembagaan dan Rukun Negara\n* Prinsip keadilan sosial\nPrinsip penerimaan, misalnya \u201cKesatuan dalam Kepelbagaian\u201d diterima hakikatnya kerana sifat demografinya yang pelbagai etnik, budaya, bahasa, dialek, adat resam dan warisan seni. Ada pelbagai masyarakat dan kaum tetapi masyarakatnya adalah satu bangsa Malaysia. Mereka bersatu padu melalui persamaan dan perkongsian nilai bersama.\nPrinsip Perlembagaan adalah pedoman yang mengikat arah tuju negara dan kenegaraan. Semua struktur dan sistem termaktub di situ termasuklah tanggungjawab kerajaan persekutuan dan negeri. Manakala Rukun Negara pula adalah ideologi negara dan falsafah kenegaraan.\nPrinsip keadilan sosial menandakan antara hak dengan bukan hak. Hak negara seperti status bahasa kebangsaan adalah berbeza daripada hak kaum tentang bahasa etnik, bahasa kaum dan dialek, kebebasan beragama, pakaian suku kaum berbeza dengan pakaian kebangsaan, warisan seni sukuan, pilihan makan minum dan sebagainya\nNegara Bangsa: bangsanya perkongsian lambang; kesetiaan politik (political loyalty); perkongsian nilai budaya bersama; pembinaan negara (nation building); pembangunan modal insan (banyak pendekatan, antaranya termasuklah melalui pendidikan bahasa, sastera dan budaya).\nOleh itu, apakah sikap dan tabiat yang harus ada di di semua peringkat dan lapisan rakyat, kepemimpinan politik, agensi, institusi, organisasi, pertubuhan dan sebagainya dalam menunjukkan komitmen dan kebersamaan peranan? Yang paling pasti ialah apa yang tersemat di hati dan ditanya pada diri. Apakah tahap pemahaman semua lapisan rakyat Malaysia benar-benar mencintai bahasa dan kukuh pendirian terhadap fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara?\nIsu Bahasa, Pendekatan dan Strategi Pemartabatan \nKenapakah bahasa kebangsaan Malaysia tidak kelihatan mantap dalam semua ranah kehidupan? Peranan semua sektor khususnya sektor awam dan swasta serta pertubuhan NGO itu sangat besar. Dasar bahasa menjadi tanggungjawab bersama atau tanggungjawab perlembagaan.\nKenapakah pencapaian bahasa kebangsaan belum tercapai sepenuhnya? Ada penegasan semula pernah dibuat tetapi secara menyeluruh hambar sambutannya. Bukankah kita juga memerlukan transformasi, reformasi, inovasi dan kreativiti baharu terhadap pelaksanaan dasar bahasa negara?\nKenapakah masih wujud sikap negatif terhadap bahasa kebangsaan: tiada megah atau bangga akan bahasa negara sendiri tidak seperti Jepun, Perancis, Korea, Jerman, China dan lain-lain?\nKenapakah berleluasanya sikap pasif, tabiat negatif, rendah diri dan menganggap bahasa Inggeris lebih \u201csuperior\u201c atau agung, bukan soal menang-kalah. Pengimportan sumber budaya asing; ada pengaruh imperialisme budaya. Seharusnya patut dicari situasi sama menang (win-win situation).\nBetapakah tiada kepedulian bahasa atau cakna bahasa? Tidak peduli tentang campur aduk bahasa; bahasa rojak; \u201csekerat belut sekerat ular\u201d.\nBetapa terbiarnya pengaruh seni budaya Barat menyerang peradaban bangsa: hedonisme, pengaruh lagu-lagu Barat di tadika, tiada keseimbangan antara lagu bahasa Inggeris dengan bahasa negara.\nBetapakah negara bangsa ini melupakan jati diri sendiri? Kepentingan sejarah dan kesusasteraan terpinggir! Nilai sastera: patriotisme, kesetiaan dan kasih sayang. Karya-karya agung Melayu seperti Hikayat Hang Tuah dan\u00a0Sejarah Melayu tidak dibaca. Nilai budaya dalam pantun, peribahasa dan sebagainya. Konsep penamaan patut mengambil contoh terbaik daripada sejarah dan sastera.\nMengapakah terjadi kemerosotan kesedaran sastera? Berada pada tahap yang lemah \u2013 seolah-olah memandang bahasa dan sastera tidak saling melengkapi dan berpadu. Masyarakat membelakangkan pemancaran nilai budaya yang tercerna melalui kreativiti sastera dan kekuatan bahasa, sekali gus tidak membawa kepada pengukuhan jati diri dan sahsiah bangsa.\nKenapakah kita tidak bersedia memperbanyak program ketahanan jati diri bangsa? Pendekatan melalui kebudayaan diabaikan, misalnya tentang falsafah dan pemikiran, aspek kebendaan dan lambang; kesenian dan pemupukan nilai dan norma bersama.\nSeharusnya pada masa ini terus-menerus dicari jalan bagaimana boleh diatasi masalah kurang respons pelbagai kaum dan etnik, suku bangsa terhadap bahasa; betapa merosotnya penghayatan dan kemegahan terhadap bahasa kebangsaan.\nBagaimanakah pula situasi semasa tentang keazaman politik atau political will dalam pelaksanaan Dasar Bahasa Negara oleh Kerajaan Persekutuan; kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT)?\nBahasa itu merupakan asas pembinaan tamadun atau peradaban sesuatu bangsa dan sesebuah negara. Peranan dan fungsi bahasa hendaklah berada pada semua peringkat dan lapangan kehidupan, bukan semata-mata sekadar untuk komunikasi bahkan mendukung ilmu dan keilmuan, pengantar pendidikan, urusan perdagangan, perniagaan, persuratan, kebudayaan, kesenian, dan seumpamanya.\nBahasa Melayu itu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia. Soalnya, apakah dengan adanya sebuah Perlembagaan Persekutuan, maka semua aspek kaedah Malaysia berbangsa dan bernegara itu telah wujudnya sebuah negara bangsa Malaysia dengan kekuatan bahasa sendiri?\nTanya diri: Apakah jati diri, keperibadian dan sahsiah bangsa Malaysia sudah gemilang? Apakah status bahasa Melayu sebagai bahasa negara itu benar-benar berada di martabatnya, mantap dan perkasa sesudah lebih beberapa dekad merdeka? Jika tidak, mahu ke manakah kita dalam membina peradaban bangsa bagi ratusan tahun akan datang, meskipun antara peranannya patut dimainkan oleh pertubuhan bukan kerajaan?\n(Disesuaikan daripada ucap utama oleh YBhg. Dato\u2019 Haji A. Aziz Deraman (Presiden PERADABAN) pada 11 Mac 2023, dalam program Wacana 152, yang bertajuk \u201cPeranan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam Pemartabatan Bahasa Kebangsaan\u201c)" "Perihal Penonjolan Maklumat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMaklumat yang kita sampaikan dapat kita tonjolkan dengan pelbagai cara. Satu daripada caranya ialah penggunaan kata penegas. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a. \u00a0Memang\u00a0dia bersalah.\n1b. \u00a0Sememangnya\u00a0dia bersalah.\n1c. \u00a0Tentu/Pasti\u00a0dia bersalah.\n1d. \u00a0Tentu/Pasti sekali\u00a0dia bersalah.\n1e. \u00a0Bahawasanya\u00a0dia bersalah.\n1f. \u00a0Sesungguhnya\u00a0dia bersalah.\n1g. \u00a0Dia betul-betul\u00a0menyesal.\n1h. \u00a0Dia benar-benar\u00a0insaf.\n\u00a0\n2a. \u00a0Dia juga\u00a0mahu turut serta.\n2b. \u00a0Dia pun\u00a0mahu turut serta.\n2c. \u00a0Dia datang jua.\n\u00a0\n3a. \u00a0Dia datang lagi.\n3b. \u00a0Lagi-lagi\u00a0dia datang.\n\u00a0\n4a. \u00a0Wang sahaja\u00a0penting bagi dirnya.\n4b. \u00a0Hanya\u00a0wang dianggap penting olehnya.\n4c. \u00a0Wang semata-mata\u00a0diutamakannya.\n4d. \u00a0Yang diambil kira olehnya sekadar\u00a0keuntungan.\n\u00a0\n5a. \u00a0Yang bersalah dia.\n5b. \u00a0Dialah\u00a0yang bersalah.\n\u00a0\n6a. \u00a0Daya kita apa?\n6b. \u00a0Apatah\u00a0daya kita?\n\u00a0\n7a. \u00a0Orang itu siapa?\n7b. \u00a0Siapakah\u00a0orang itu?\n\u00a0\nDalam kelompok ayat 1, terdapat kata penegas kepastian seperti memang, sememangnya, tentu, pasti, sekali, bahawasanya, sesungguhnya, betul-betul\u00a0dan benar-benar. Dalam kelompok ayat 2, terdapat kata penegas penglibatan bersama seperti juga, pun\u00a0dan jua. Dalam kelompok ayat 3, terdapat kata penegas perulangan, iaitu lagi dan lagi-lagi. Dalam kelompok ayat 4, terdapat kata penegas eksklusif seperti sahaja, hanya, semata-mata\u00a0dan sekadar. Dalam kelompok ayat 5, 6 dan 7 pula, terdapat kata/partikel penegas seperti -lah, -tah\u00a0dan -kah. Dalam hal ini, predikat yang ditonjolkan harus juga dikedepankan.\nPenonjolan maklumat dapat juga kita lakukan dengan penggunaan kata penekan -nya\u00a0yang bersifat opsyenal dalam struktur ayat. Intonasi ayat ialah intonasi ayat seruan, dan unsur yang ditonjolkan dikedepankan. Dalam hal ini, kata seru seperti wah\u00a0dan amboi\u00a0mungkin juga ditambah pada ayat. Sila lihat contoh yang berikut:\n8a. \u00a0Lajunya kereta itu!\n8b. \u00a0Wah, lajunya kereta itu!\n\u00a0\nSatu mekanisme penonjolan maklumat ialah pendepanan unsur yang diutamakan. Jadi, ayatnya ialah ayat susunan songsang. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n9a. \u00a0Perompaklah orang itu.\n9b. \u00a0Besar rumahnya.\n9c. \u00a0Sudah dia balik.\n9d. \u00a0Belajar dia sampai jauh malam.\n9e. \u00a0Ke luar negara Ali.\n9f. \u00a0\u00a0Lambat dia datang.\n9g. \u00a0Bukan dia yang bersalah.\n\u00a0\nDalam ayat 9a, yang ditonjolkan ialah kata nama perompak. Dalam ayat 9b, yang ditonjolkan ialah kata adjektif besar. Dalam ayat 9c, yang ditonjolkan ialah kata bantu sudah. Dalam ayat 9d, yang ditonjolkan ialah kata kerja belajar. Dalam ayat 9e, yang ditonjolkan ialah frasa sendi nama ke\u00a0luar\u00a0negara. Dalam ayat 9f, yang ditonjolkan ialah kata adverba lambat. Dalam ayat 9g, yang ditonjolkan ialah kata nafi dengan kata nama bukan\u00a0dia.\nKata nafi seperti bukan, tidak\u00a0dan tanpa, dan kata larangan jangan\u00a0dapat juga digunakan untuk menonjolkan maklumat. Hal ini juga mungkin melibatkan awalan bi-. Ada kalanya kata-kata itu wujud dalam bentuk rangkaian kata yang tetap. Sila lihat contoh yang berikut:\n10a. \u00a0Bukannya dia tidak tahu bahawa dia bersalah.\n10b. \u00a0Tidak syak lagi bahawa dia bersalah.\n10c. \u00a0Tidak dapat dinafikan lagi bahawa dia bersalah.\n10d. \u00a0Jangan tidak percaya bahawa perkara itu terjadi!\n10e. \u00a0Jangan hairan bahawa perkara itu benar!\n10f. \u00a0\u00a0Belilah barang itu tanpa waswas!\n10g. \u00a0Kekuatannya tiada tolok bandingnya.\n10h. \u00a0Dia merupakan pemimpin yang bitara.\n\u00a0\nKata penguat seperti sangat, amat, sungguh, sekali, terlalu\u00a0dan paling\u00a0juga dapat menonjolkan sifat sesuatu perkara. Dalam hal ini, awalan teR-\u00a0ada kalanya juga berfungsi sedemikian. Sila lihat contoh yang berikut:\n11a. \u00a0Dia sangat pandai.\n11b. \u00a0Dia rajin sekali.\n11c. \u00a0Dia paling rajin.\n11d. \u00a0Dia terhebat.\n\u00a0\nPenonjolan sifat kesangatan dapat juga dilakukan dengan penggunaan kata adjektif ganda atau frasa adjektif. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n12a. \u00a0Rumah tangganya porak-peranda.\n12b. \u00a0Keadaan negara itu kacau-bilau.\n12c. \u00a0Rambutnya kusut-masai.\n12d. \u00a0Tanahnya lekak-lekuk.\n12e. \u00a0Pakaian lelaki itu compang-camping.\n\u00a0\n13a. \u00a0Pesakit itu kurus kering.\n13b. \u00a0Orang itu miskin papa/kedana.\n13c. \u00a0Gadis itu cantik jelita.\n13d. \u00a0Lelaki itu gemuk gedempol.\n13e. \u00a0Pahlawan itu gagah berani.\n\u00a0\nKata hubung gabungan pasangan seperti bukan sahaja . malahan\u00a0atau bukan sahaja . tetapi juga\u00a0dan kata hubung gabungan seperti lebih-lebih lagi\u00a0dan tambahan pula\u00a0juga dapat menonjolkan sifat tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:\n14a. \u00a0Dia bukan sahaja malas, malahan nakal.\n14b. \u00a0Dia bukan sahaja malas, tetapi nakal juga.\n\u00a0\n15a. \u00a0Kita tidak harus mendera orang lain, lebih-lebih lagi kanak-kanak.\n15b. \u00a0Kita tidak harus mendera orang lain, tambahan pula kanak-kanak.\n\u00a0\nAda kata bantu ragam seperti wajib, mesti\u00a0dan harus\u00a0yang menonjolkan keperluan sesuatu tindakan diambil. Sila lihat contoh yang berikut:\n16a. \u00a0Semua murid wajib hadir.\n16b. \u00a0Semua murid mesti hadir.\n16c. \u00a0Semua murid harus hadir.\n\u00a0\nAda juga kata atau frasa nama tertentu yang menonjolkan kelebihan seseorang, seperti tokoh, jaguh/jago/jagoan, seniman terulung, sasterawan negara, ratu sukan skuasy, raja pecut, pakar, bintang filem, selebriti media sosial, bapa kemerdekaan, olahragawan, olahragawati, srikandi\u00a0dan sebagainya." "Hukum D-M\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nFrasa nama ialah rangkaian kata yang terdiri daripada binaan inti\u2013penerang atau inti.\u00a0 Secara umumnya, bagi binaan inti\u2013penerang, inti (unsur yang diterangkan) harus berada di hadapan penerang (unsur yang menerangkan inti). Itulah yang dimaksudkan sebagai hukum D-M.\nPenerang yang mendahului inti mungkin meliputi pelbagai jenis kata.\u00a0 Sila lihat contoh dalam jadual yang berikut:\nTerdapat juga beberapa kecualian daripada hukum D-M, iaitu ada kalanya urutan unsur dalam frasa nama ialah penerang mendahului inti. Sila lihat contoh yang berikut:\nWalaupun hukum D-M dan kecualiannya kelihatan begitu jelas, ada kalanya pengguna terkeliru disebabkan oleh sesetengah unsur yang biasanya menjadi inti mungkin berubah kedudukannya untuk menjadi penerang dalam keadaan tertentu. Hal ini berlaku disebabkan fokus atau tumpuan pada frasa nama telah berubah. Dengan itu, maksud frasa yang berkenaan turut berubah. Sila lihat contoh yang berikut:\nperdana menteri \u2013 menteri yang utama\ntayangan perdana \u2013 tayangan pada kali pertama\nlaut biru \u2013 laut yang kebiru-biruan\nbiru laut \u2013 warna biru seperti laut\nibu negeri \u2013 bandar utama negeri\nrumah ibu \u2013 bahagian utama rumah\nayam telur (penelur) \u2013 ayam yang diternak untuk bertelur\ntelur ayam\u00a0 \u2013 telur daripada ayam\njam tangan \u2013 jam yang dipakai pada tangan\ntangan jam \u2013 jarum penunjuk pada jam\npanjang tangan \u2013 suka mencuri\ntangan panjang \u2013 keadaan yang semula jadi\nWalaupun kata bilangan kardinal seperti nombor satu harus mendahului kata nama dalam susunan penerang\u2013inti, keadaannya tidak selalunya begini. Sila lihat contoh yang berikut:\nBagi kata yang mendukung lebih daripada satu maksud, kedudukan unsur dalam frasa nama mungkin berubah juga. Sila lihat contoh yang berikut:\nayam rendang \u2013 ayam goreng, ayam yang dimasak dengan cara direndang\nrendang ayam \u2013 sejenis lauk berempah dengan daging ayam\nAda kalanya pengguna bahasa terkeliru disebabkan oleh catatan maksud kata dalam kamus tidak dikemaskinikan seiring dengan perkembangan budaya dan teknologi sezaman. Contohnya ialah kekeliruan antara frasa tepung susu dengan susu tepung.\u00a0 Walaupun kedua-dua bentuk frasa itu tercatat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, ada pihak yang beranggapan bahawa yang betul ialah susu tepung, dan bukannya tepung susu.\nHal ini berlaku demikian kerana kamus tersebut menjelaskan kata menepung sebagai \u201cmenumbuk atau mengisar (biji-bijian dll. lumat-lumat) supaya menjadi tepung\u201d.\u00a0 Contohnya ialah tepung beras dan tepung jagung. Oleh itu, pihak yang berkenaan merasakan bahawa susu yang asalnya cair tidak dapat ditumbuk atau dikisar untuk menjadi tepung, dan tidak patut disebut sebagai tepung susu.\nWalau bagaimanapun, jika kita tidak dapat menepung susu, dari manakah datangnya susu tepung atau tepung susu? Dalam bahasa Inggeris pun, milk powder disamakan dengan powered milk dan dried milk.\nOleh hal yang demikian, maksud kata menepung dalam kamus sepatutnya dijadikan lebih umum dan luas supaya menggambarkan cara alternatif untuk menghasilkan tepung dengan teknologi baharu. Sila lihat contoh yang berikut:\nMenepung\nMemproses sesuatu benda supaya menjadi tepung, iaitu dengan cara menghancurkannya atau mengeringkannya\nDengan itu, kedua-dua frasa tepung susu dan susu tepung akan diterima oleh para pengguna bahasa Melayu tanpa sebarang pertikaian. Yang berbeza hanyalah fokus dalam frasa nama yang berkenaan. Maksud kedua-dua frasa tersebut adalah seperti yang berikut:\nsusu tepung \u2013 sejenis susu dalam bentuk tepung\ntepung susu \u2013 sejenis tepung yang dihasilkan dengan mengeringkan susu\nPilihan lain \u2013 susu tepung, tepung susu\n\u00a0Tepung susu = serbuk susu\u00a0 (1662)\nSusu tepung = sejenis susu yang diproses menjadi tepung\u00a0 (1553)\nBergantung pada perspektif dan fokus\nSusu tepung \u2013 fokus pada jenis makanan (susu)\nTepung susu \u2013 fokus pada bentuk barangan (tepung)\nKedua-duanya betul.\nMenepung dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (1662)\nMenumbuk atau mengisar (biji-bijian dll. lumat-lumat) supaya menjadi tepung\n1. cara\n\u00a0\nBahasa Inggeris\u00a0 Oxford Dictionary (2005 :1180)\nPowdered milk = milk powder, dried milk\nPowdered\n\u00a0\n2.\u00a0 \u00a0cara\nBahasa harus berkembang sering dengan perkembangan budaya dan ilmu." "Kibaran Panji Bahasa Melayu di Wenchang, Hainan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBenarlah seperti bak peribahasa lama, \u201cDi mana adanya bulan dan bintang, di situ pasti ada bangsa dari negara China menghuninya\u201d. Bandar Wenchang atau Wechangsean, tentunya asing dan kurang dikenali ramai. Namun begitu, apabila disebut mengenai gastronominya seperti Nasi Ayam Hainan, pastinya makanan itu amat menyelerakan dan terasa kecur air liur untuk merasai keenakan sajian yang kini menjadi sebahagian daripada identiti rakyat Malaysia yang berbilang kaum!\nAda apakah di Bandar Wenchang? Tanpa disangka, menjelma megah satu-satunya kolej yang menawarkan program Diploma Pengajian Bahasa Melayu, yang dikenali sebagai Kolej Pengajian Bahasa Asing Hainan atau Hainan College and Foreign and Studies (HCFS), yang menawarkan 18 kursus bahasa asing termasuklah kursus Bahasa Melayu.\nSebagai guru perintis pengembangan bahasa Melayu di kota yang telah mengasimilasikan gastronomi seperti Nasi Ayam Hainan ke Tanah Melayu dan Temasik, juga Indonesia, sebagai satu daripada pilihan makanan ruji ketiga negara di Asia Tenggara ini, terasa bagaikan peluang keemasan yang tidak pernah penulis terfikirkan dan peluang ini tidak harus dipersiakan.\nTuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada yang tahu. Jika dahulu, sering tergiang perumpamaan orang-orang tua yang mengatakan bahawa \u201cTuntutlah ilmu hingga ke negara China\u201d. Terfikir juga mengapakah negara China? Ada apakah di negara China? Barulah penulis sedar bahawa bermusafir itu juga sebahagian daripada cabang pencarian\u00a0 ilmu.\nDi Jabatan Bahasa Melayu, Kolej Pengajian Bahasa Asing Hainan, ada dua orang guru Bahasa Melayu yang kedua-duanya berasal dari provinsi Guangxi, China. Salwa dan Rupawan, inilah nama Melayu mereka berdua yang pernah melanjutkan pelajaran dalam Pengajian Bahasa Melayu di Universiti Malaya, selama setahun menerusi sistem pertukaran pelajar di antara Universiti Malaya dengan Universiti Bangsa Guangxi.\nSalwa dan Rupawan merupakan warganegara China yang menjadi perintis guru Bahasa Melayu, dan juga nadi kekuatan pengembangan bahasa Melayu di bandar Wenchang secara khususnya. Walaupun sebagai permulaan hanya terdapat tiga orang pelajar sahaja yang mempelajari bahasa Melayu, tetapi itu bukan halangan untuk mengembangkan sayap kehadiran bahasa Melayu di bandar Wenchang, khususnya dan di Hainan umumnya.\nSebagai contoh, Suria, Sasha dan Ayu yang berumur 18 tahun, buat pertama kalinya mempelajari bahasa Melayu. Mereka pelajar daripada kumpulan pertama yang mempelajari bahasa Melayu di Kolej Pengajian Bahasa Melayu Hainan. Kesungguhan mereka tidak sia-sia kerana telah berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia selama setahun pada September 2018, menerusi sistem pertukaran pelajar di antara kedua-dua institusi pengajian ini sebagai satu daripada program memantapkan pengetahuan dan memperkaya penggunaan bahasa Melayu mereka.\nKini pada tahun 2023, sebanyak 11 orang pelajar daripada tiga kumpulan telah berjaya menggenggam Diploma Bahasa Melayu, dan mereka sudah bekerja di pelbagai perusahaan malah sebagai penjawat awam di China. Ada juga dalam kalangan mereka yang sudah berkeluarga. Tahniah semuanya!\nMungkin ada yang bertanya, \u201cMengapakah mereka mempunyai nama yang beridentitikan Melayu? Inilah keunikan teknik pembelajaran dan pengajaran bahasa Melayu. Tanamkan identiti budaya itu ke dalam diri agar kecintaan itu utuh atau mungkin juga mudah dari segi sapaan untuk mereka.\nBerada di bandar Wenchang seolah-olah berada di Malaysia. Musim panas yang diliputi oleh awan kimulus dan kadang kala sirus menghembuskan bayu nyaman sepanjang waktu. Titisan hujan hanya kedengaran rintik-rintik manja selang beberapa minit menjelmakan diri. Lantas hilang.\nMelewati Jalan Lama Wennan, di bandar Wenchang, persis berada di Melaka. Kawasan tersebut dipenuhi dengan bangunan lama yang mempunyai reka bentuk yang bercirikan kolonial yang merentasi sebuah sungai di hadapannya, malah ada jambatan yang menghubungkan jalan utama ke jajaran Jalan Lama Wennan. Diri terasa seolah-olah berada di bandar Melaka, sama persekitarannya seperti menyusuri sebuah jambatan untuk ke Jalan Jonker. Kelihatan penuh deretan kedai yang dihuni di bangunan ini yang kini dibaik pulih dan dipulihara.\nSalwa memberitahu saya, pada zaman dahulu, barangkali pada zaman penjajahan British di Tanah Melayu, seorang arkitek yang berasal dari bandar Wenchang telah merantau ke Tanah Melayu. Tercetus inspirasi buat dirinya. Beliau teruja melihat banyak reka bentuk bangunan yang bercirikan dan beridentitikan zaman kolonial di Kuala Lumpur.\nMaka itu, arkitek yang berasal dari Wenchang ini telah mengabadikan keunikan seni bina kolonial ini dengan membina deretan bangunan rumah kedai di Jalan Lama Wennan, yang seakan-akan sama seperti yang terdapat di Kuala Lumpur, Melaka dan Pulau Pinang. Sangat indah. Ada juga yang mengatakan bahawa reka bentuk bangunan ini mempunyai persamaan dengan sebuah bandar yang ada di Singapura.\nTiada yang ganjil kerana kaum Hainan ini pada zaman dahulu banyak yang berhijrah ke Tanah Melayu, Singapura dan Indonesia. Justeru kesamaan jati diri dari segi budaya dalam masakan khususnya ada di mana-mana pada hari ini di setiap negara khususnya di Malaysia.\nMungkin juga Nasi Ayam Hainan boleh dikategorikan sebagai makanan tradisi yang dibawa oleh generasi dahulu tetapi kekal diwarisi dari turun-temurun ke setiap generasi malah kini telah menjadi satu perniagaan yang dikomersialkan.\nWalau bagaimanapun, untuk menikmati Nasi Ayam Hainan yang benar-benar tradisional dari bandar Wenchang yang leluhurnya dan benar-benar halal begitu sukar! Tambahan pula, ketidakfahaman masyarakat tempatan mengenai konsep halal itu juga tiada di bandar Wenchang. Mungkin ini satu peluang perniagaan baharu yang harus diterokai oleh usahawan halal di Malaysia dalam sektor perniagaan halal di sini. Menarik bukan?\nBerangin dan mendung, inilah suasana indah pada waktu siang. Tiada perbezaan waktu antara Wenchang dengan Malaysia tetapi mentari mula menyinar seawal pukul 6.20 pagi dan terbenam pada pukul 6.50 petang.\nSelain itu, ingin berkomunikasi dalam bahasa Inggeris di bandar Wenchang? Lupakan sahaja! Ya. Untuk berkomunikasi dengan masyarakat tempatan, seseorang itu hanya boleh menggunakan bahasa Mandarin tetapi bukannya bahasa Mandarin standard. Bahasa Mandarin tersebut mempunyai dialek Hainan.\nLucu juga apabila melihat Salwa dan Rupawan kala berkomunikasi sesama warga tempatan. Mereka mengadu bahawa ada juga beberapa perkataan yang kurang difahami oleh mereka kerana terselit dialek atau loghat Hainan. Secara mudahnya, situasinya bolehlah disamakan jika saya berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu standard dengan rakyat di pantai timur, Malaysia yang mempunyai dialeknya yang tersendiri.\nHati saya berbunga-bunga ketika acap kali berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu bersama-sama Rupawan dan Salwa, juga dengan para pelajar. Sungguh indah suasana itu untuk dipotretkan.\nBahasa Melayu kini bergema di bandar Wenchang. Terpaku penulis kala membaca artikel yang mengatakan bahawa bangsa Cina dari negara China mempunyai kecenderungan untuk mempelajari dan menguasai bahasa asing khususnya bahasa Melayu dengan penuh kesungguhan. Bangga bukan?\n\u00a0\n\u00a0\n(Penulis berpengalaman mengajar Bahasa Melayu untuk kurikulum International Baccauleurate dan Cambridge IGCSE, di beberapa buah Sekolah Antarabangsa di Malaysia. Penulis juga pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan dan Hadiah Sastera DBP. Kini penulis sebagai guru Bahasa Melayu di Kolej Pengajian Bahasa Asing Hainan, China.)" "IPGK Rajang dan DBP Ketengahkan Bahasa Iban ke Peringkat yang Lebih Tinggi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSibu \u2013 Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang (IPGKR) di Bintangor, Sarawak, merupakan satu-satunya IPG yang menawarkan Kursus Bahasa Iban untuk guru pelatih di Malaysia.\nSehubungan dengan itu, Pengarah IPGKR, Dr. Abang Ismail Haji Abang Julhi berharap agar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dapat bersama-sama mereka untuk kesinambungan bahasa Iban supaya dapat diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.\nHasil kunjungan hormat DBP Cawangan Sarawak ke IPGKR itu yang diketuai oleh Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, satu persetujuan telah dicapai bersama-sama IPGKR mengenai bahasa Iban.\nSelain itu, mereka juga akan melaksanakan sinergi dalam aspek penerbitan, bengkel penulisan dan kursus pengacaraan yang akan melibatkan para pensyarah dan guru pelatih berkenaan yang dijangka diadakan pada bulan Oktober nanti.\nKunjungan tersebut diadakan dalam rangka kerja DBP Cawangan Sarawak ke zon tengah bersempena dengan Majlis Wacana dan Pelancaran Buku Masjid Al-Qadim.\nSelain itu, pertemuan itu bagi mengetahui dengan lebih lanjut tentang program yang ada di IPGKR dan mengeratkan hubungan antara agensi dalam Kementerian Pendidikan Malaysia, serta membincangkan kerjasama yang dapat dilaksanakan oleh kedua-dua agensi.\nSelain itu, antara agenda yang telah dibincangkan dalam pertemuan tersebut termasuklah kerjasama dan penglibatan warga IPGKR, khususnya Jabatan Pengajian Melayu untuk bersama-sama DBP memperkasakan bahasa Melayu di zon tengah Sarawak." "Program Bersahabat dengan Kamus Tambah Pengetahuan Guru Pelatih\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013Baru-baru ini, sebanyak 73 orang guru pelatih dan empat orang pensyarah dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam Bangi, Selangor, telah mengikuti program Bersahabat dengan Kamus dengan jayanya di Wisma DBP.\u00a0\u00a0\nProgram yang dikendalikan oleh Bahagian Perkamusan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat khususnya bagi pencinta bahasa Melayu.\nPada sesi pertama, para peserta telah mengikuti Ceramah Asas Perkamusan yang disampaikan oleh Puan Rohana Abdul Rahman.\nPada sesi kedua pula, mereka diberi pendedahan tentang cara penggunaan kamus yang betul serta berkesan yang disampaikan oleh Ketua Unit Ekabahasa, Bahagian Perkamusan iaitu, Puan Siti Norsuhaila Samsudin yang berjudul \u201cKeistimewaan Kamus Dewan Perdana\u201c, yang merupakan produk kamus terlaris dan terkini terbitan DBP.\nPada sesi \u00a0ketiga pula, para peserta didedahkan dengan ilmu Peristilahan menerusi ceramah yang disampaikan oleh Puan Nor Azianti Abdul Aziz dari Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, DBP.\nUntuk sesi terakhir, iaitu pada sebelah petang, mereka mengikuti ceramah yang bertajuk \u201cKamus dan Makna\u201c yang disampaikan oleh Puan Zuraini Yeop Ahmad, Ketua Unit Dwibahasa, Bahagian Perkamusan DBP.\nMenurut Dr. Jeyagobi Dhamoderam, yang juga pensyarah dan penyelaras kursus Pengajian Melayu dari IPG berkenaan, beliau telah lama merancang untuk membawa kumpulan pelajar semester enam tersebut ke DBP bagi mengikuti program Bersahabat dengan Kamus.\nSelain mempelajari ilmu perkamusan menerusi kuliah, pelajar juga harus didedahkan dengan cara kerja ilmu perkamusan serta peristilahan di DBP. \u00a0Pengalaman ini amat berguna apabila mereka menamatkan pengajian di IPG dan bertugas di sekolah untuk mengajar.\nSementara itu, menerusi ucapan alu-aluan Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP, yang \u00a0turut menjalankan tugas Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP, berharap agar program ini dapat menambah pengetahuan guru pelatih tersebut khususnya dalam mendalami \u00a0ilmu yang berkaitan dengan perkamusan dan peristilahan.\nPerkongsian ilmu ini penting kepada generasi muda seperti bakal guru kerana mereka terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah kelak. Beliau\u00a0 turut mempelawa peserta untuk menjadi penulis dan menghantar karya sama ada karya kreatif ataupun ilmiah untuk diterbitkan oleh DBP.\nSekiranya terdapat pihak dan agensi yang berminat untuk berkongsi ilmu tentang leksikografi dan leksikologi, bolehlah menghubungi Bahagian Perkamusan, Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP bagi mendapatkan maklumat lanjut." "Menjanakan Minda Kritis, Faktual dan Kreatif Siswa dalam Penulisan Rencana\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Selain membantu siswa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran menulis melalui pembacaan, penyelidikan dan pengumpulan fakta, Encik S. M. Zakir, Pemenang Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write) 2011 turut menyatakan bahawa minda kritis, faktual dan kreatif juga mampu dijanakan seseorang melalui penulisan rencana.\nMenurut beliau, hal ini berlaku disebabkan proses menulis sebuah rencana yang menitikberatkan ketepatan dalam penyusunan idea, pemerengganan, penentuan arah penulisan, pengolahan dan kesimpulan, perkaitan dan urutan idea, serta penghuraian dan kritikan, yang mampu memunculkan idea baharu, pemikiran luas dan perdebatan sihat terhadap isu yang diketengahkan.\nKatanya lagi, sebuah rencana yang baik, lengkap dan berkesan mempunyai pendahuluan, isi, kesan baik, kesan buruk, pendapat dan penutup.\nTambah beliau, penulis rencana disarankan agar memproses maklumat yang diperoleh secara kritis bagi mengesahkan kesahihan dan kredibiliti fakta yang dikongsi.\nAntara langkah yang bijaksana untuk dilakukan termasuklah melakukan prapenulisan secara faktual, iaitu membuat fasa persediaan draf untuk menyusun isi penting, mengembangkan persoalan, menulis, mengkaji, menyemak dan mengemaskan penulisan, serta meminta pendapat orang lain tentang isu yang ditulis.\nPenulisan yang dibuat juga perlu diolah secara kreatif bagi menjadikan sesebuah rencana itu menarik dan mudah difahami oleh pembaca sasaran.\n\u201cBengkel penulisan seperti ini perlu diperbanyak untuk memberikan kesedaran dan memupuk minat membaca dan menulis kepada anak muda, terutamanya golongan siswa. Hal ini secara tidak langsung boleh menjadi sumber pendapatan kepada siswa pada masa hadapan,\u201d ujar Puan Azyantee Mohd. Zawawi, seorang daripada pensyarah KIAS yang turut hadir sebagai peserta Bengkel Penulisan Rencana yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Akademik (PKA), Fakulti Pengurusan Teknologi Maklumat (FPTM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Nusa Centre pada 18 Mac 2023 di Kota Bharu, Kelantan.\nSeusai sesi teori tersebut, Encik Salman Sulaiman, Penerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan 2019/2020 pula memberikan sesi bimbingan praktis penulisan rencana dalam kalangan peserta.\nMenurut Puan Noorhanis Amran, perkongsian ilmu yang disampaikan secara teori dan praktikal sangat membantu dan membuka jalan, serta peluang kepada siswa untuk menghasilkan penulisan ilmiah dan deskriptif secara lebih baik dan berkesan.\nProgram ini telah dirasmikan oleh Prof. Dr. Haji Wan Sulaiman Wan Yusoff, Dekan FPTM, KIAS. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menzahirkan rasa kagum terhadap kejayaan anak bumi Kelantan seperti Encik S. M. Zakir dan Encik Salman Sulaiman dalam bidang penulisan tanah air. Beliau turut menggalakkan para siswa yang hadir untuk turut mengikut jejak langkah tokoh tersebut dalam bidang yang diminati." "Perihal Pengguguran\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPengguguran atau elipsis ialah proses yang menggugurkan atau meniadakan sesuatu unsur atau kata yang opsyenal dalam struktur permukaan (surface structure) ayat walaupun dalam struktur dalaman (deep structure) ayat yang berkenaan, semua unsur atau katanya adalah lengkap. Syaratnya ialah pengguguran kata tersebut tidak mengubah maksud ayat atau tidak menimbulkan unsur ambiguiti.\nSatu kata yang mungkin digugurkan dalam struktur permukaan ayat ialah kata sebagai. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n1a. \u00a0Dia menamai anaknya sebagai Ali.\n1b. \u00a0Dia menamai anaknya Ali.\n\u00a0\n2a. \u00a0Dia menjadikan budak itu sebagai anak angkatnya.\n2b. \u00a0Dia menjadikan budak itu anak angkatnya.\n\u00a0\nDalam ayat majmuk pancangan komplemen, ada kalanya kata hubung bahawa boleh kita gugurkan. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n3a. \u00a0Dia mengetahui bahawa adiknya bersalah.\n3b. \u00a0Dia mengetahui adiknya bersalah.\n\u00a0\nDalam ayat majmuk gabungan, ada kalanya kata hubung gabungan yang tidak ditekankan boleh kita gugurkan, dan diganti dengan tanda koma. Sila lihat contoh yang berikut:\n4a. \u00a0Dia belajar dan adiknya bermain.\n4b. \u00a0Dia belajar, adiknya bermain.\n\u00a0\nDalam ayat pasif jati, kata sendi nama oleh\u00a0boleh kita gugurkan. Malahan, ada kalanya frasa nama yang menyusuli kata oleh\u00a0turut digugurkan. Sila lihat contoh yang berikut:\n5a. \u00a0Dia dimarahi oleh ayahnya.\n5b. \u00a0Dia dimarahi ayahnya.\n5c. \u00a0Dia dimarahi\n\u00a0\nDalam ayat dasar pola Frasa Nama + Frasa Sendi Nama, kata kerja yang berkenaan digugurkan dalam struktur permukaannya. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n6a. \u00a0Dia ke Pulau Pinang.\n6b. \u00a0Dia pergi ke Pulau Pinang.\n\u00a0\n7a. \u00a0Dia di Kampung.\n7b. \u00a0Dia berada di kampung.\n\u00a0\nDalam ayat yang ada kata pemeri atau kata merupakan\u00a0yang berfungsi seperti kata pemeri, kata-kata itu boleh kita gugurkan. Sila lihat contoh yang berikut:\n8a. \u00a0Encik Ali ialah guru Sejarah.\n8b. \u00a0Encik Ali guru Sejarah.\n\u00a0\n9a. \u00a0Aminah adalah pandai\n9b. \u00a0Aminah pandai.\n\u00a0\n10a. \u00a0Hadiah ini adalah untuk adiknya.\n10b.\u00a0 Hadiah ini untuk adiknya.\n\u00a0\n11a. \u00a0Ahmad adalah antara yang hadir.\n11b. \u00a0Ahmad antara tetamu yang hadir.\n\u00a0\n12a. \u00a0Rosnah merupakan murid yang rajin.\n12b. \u00a0Rosnah murid yang rajin.\n\u00a0\nBagi kata hubung oleh\u00a0sebab, kata oleh\u00a0boleh kita gugurkan. Sila lihat contoh yang berikut:\n13a. \u00a0Dia tidak hadir oleh sebab sakit.\n13b. \u00a0Dia tidak hadir sebab sakit.\n\u00a0\nBagi sendi nama oleh\u00a0yang bermaksud oleh\u00a0sebab, kata sebab\u00a0boleh kita gugurkan. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n14a. \u00a0Dia diberi kenaikan pangkat oleh sebab ketekunannya.\n14b. \u00a0Dia diberi kenaikan pangkat oleh ketekunannya.\n\u00a0\nBagi frasa nama dengan struktur Kata nama + Kata kerja atau Kata Nama + Kata adjektif, ada kalanya inti frasa nama boleh kita gugurkan. Sila lihat contoh yang berikut:\n15a. \u00a0Aktiviti berenang ialah hobinya.\n15b. \u00a0Berenang ialah hobinya.\n\u00a0\n16a. \u00a0Warna putih melambangkan kesucian.\n16b. \u00a0Putih melambangkan kesucian.\n\u00a0\nBagai frasa nama dengan struktur kata nama + klausa relatif, ada kalanya inti frasa nama boleh kita gugurkan. Dalam hal ini, maksud frasa menjadi lebih umum tetapi struktur ayat masih utuh. Sila lihat contoh yang berikut:\n17a. \u00a0Buku yang tebal dibelinya.\n17b. \u00a0Yang tebal dibelinya.\n\u00a0\n19a. \u00a0Dia mengahwini gadis yang cantik.\n19b. \u00a0Dia mengahwini yang cantik.\n\u00a0\nDalam ayat majmuk, unsur yang sama dalam klausa yang digabungkan atau dipancangkan boleh kita gugurkan. Sila lihat contoh yang berikut:\n20a. \u00a0Aminah rajin. Aminah sopan.\n20b. \u00a0Aminah rajin dan sopan.\n\u00a0\n21a. \u00a0Kassim suka menyanyi. Hafiz suka menyanyi.\n21b. \u00a0Kassim dan Hafiz suka menyanyi.\n\u00a0\n22a. \u00a0Rosli akan hadir. Rosli akan membantu kita.\n22b. \u00a0Rosli akan hadir dan membantu kita.\n\u00a0\n23a. \u00a0Hasan tidak hadir. Hasan sakit.\n23b. \u00a0Hasan tidak hadir kerana sakit.\n\u00a0\nDalam ayat perintah, kata ganti nama diri orang kedua boleh kita gugurkan. Sila lihat contoh yang berikut:\n23a. \u00a0Kamu sila masuk.\n23b. \u00a0Sila masuk.\n\u00a0\nBagi kata kerja transitif sifatan yang ada objek kata ganti nama diri orang pertama, ada kalanya objek itu boleh kita gugurkan. Sila lihat contoh yang berikut:\n14a. \u00a0Kejayaannya sangat membanggakan kami.\n14b. \u00a0Kejayaannya sangat membanggakan.\n\u00a0\nBagi frasa nama dengan kata kerja transitif tertentu, objeknya ada kalanya digugurkan untuk tujuan pragmatik dan demi keringkasan frasa. Contohnya ialah bilik menunggu, kegemaran membaca, pertandingan memancing, dan sebagainya." "Teknik BORPIKA Bantu Pelajar Hasilkan Karangan Berkualiti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur\u00a0 \u0336\u00a0 BORPIKA merupakan akronim daripada Borang Rangka Persembahan Isi Karangan, yang membantu pelajar berfikir untuk menghuraikan isi karangan. Teknik ini dicipta dan dihasilkan oleh Encik Nawi Ismail atau lebih dikenali dengan nama Cikgu Nawi, seorang penulis yang juga pesara guru dan Munsyi Dewan.\u00a0\nTeknik BORPIKA oleh Cikgu Nawi tersebut digabungkan dalam sebuah buku yang berjudul Teknik BORPIKA: Panduan Penulisan Karangan, yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.\nSehubungan dengan itu, Rancangan Bicara Karyawan pada kali ini menjemput Cikgu Nawi Ismail untuk membicarakan buku ini yang berlangsung di Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada 20 Mac 2023, yang bersiaran pada pukul 10.00 pagi.\nBuku ini merupakan bimbingan dan panduan khusus pembelajaran karangan bagi pelajar peringkat Sijil Pelajaran Malaysia yang berpandukan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).\nMenurut Cikgu Nawi, melalui karangan pelajar, guru dapat menilai sama ada pelajar tersebut bermaklumat atau sebaliknya.\u00a0\nKarangan pelajar dapat mencirikan keperibadian pelajar.\nTambah beliau, hasil pembacaan yang banyak dapat membantu pelajar meningkatkkan pengetahuan umum, menambah maklumat baharu, menambah kosa kata, dan mengetahui gaya bahasa yang betul.\nBagi guru dan pelajar yang sudah mempunyai kaedah tersendiri yang membantu dalam penghasilan karangan, kaedah itu perlu diteruskan. Walau bagaimanapun, bagi guru dan pelajar yang masih mencari atau mungkin ingin mencuba kaedah penulisan karangan yang baharu, bolehlah mendapatkan buku ini yang boleh dilayari menerusi DBPNiaga.my yang bermula pada April 2023.\nUntuk rekod, buku ini mengandungi 16 bab yang merangkumi tiga tumpuan, iaitu aspek kepengarangan, kebahasaan dan penyuntingan.\nBuku ini juga merupakan koleksi hasil tulisan Cikgu Nawi menerusi majalah Dewan Siswa dan contoh yang terdapat dalam buku ini juga sebenarnya hasil karangan dan pemikiran pelajar di sekolah." "Bahasa Kebangsaan Dimartabatkan, Bahasa Asing Diterokai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTanpa bahasa, manusia tidak mungkin boleh berkomunikasi antara satu sama lain atau mungkin tidak dapat \u00a0berinteraksi dengan efektif. Bahasa membolehkan manusia berkongsi informasi, idea, pendapat dan buah fikiran serta membentuk hubungan sosial dan budaya yang kompleks dan pelbagai.\nBahasa secara umumnya digunakan sebagai medium komunikasi dalam peradaban manusia. Menurut Kamus Pelajar (Edisi Kedua) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), bahasa bermaksud kata-kata yang disusun menurut tatabahasa dan digunakan oleh seseorang dalam percakapan atau tulisan.\nSebagai contoh, rakyat di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum menggunakan bahasa Melayu sebagai medium komunikasi sesama mereka. Jika dilihat dari segi penggunaan bahasa sejak belakangan ini terutamanya di media sosial menunjukkan sesuatu yang positif dalam kalangan rakyat Malaysia.\nHal ini kerana semua kaum dapat menyuarakan pendapat masing-masing menggunakan bahasa yang dominan dalam diri mereka. Selain itu, ciri tambahan yang ada dalam media sosial seperti Facebook turut memberikan kelebihan kepada pengguna.\nCiri tersebut dapat digunakan dengan menekan butang \u201csee translation\u201d di ruangan komen yang sedikit banyak membantu semua pihak memahami bahasa yang mereka tidak fahami.\nPendedahan terhadap bahasa selain bahasa ibunda juga diterima baik oleh masyarakat majmuk dan dilihat dapat mengurangkan jurang komunikasi secara dalam talian. Tidak dinafikan, pendedahan itu suatu keistimewaan untuk semua orang.\nNamun begitu, adakah perkara itu dapat membantu jika masyarakat di Malaysia khususnya berkomunikasi secara bersemuka dengan menggunakan bahasa yang dominan mengikut bangsa atau kaum masing-masing tanpa sebarang alat bantuan terjemahan?\nKurangnya pendedahan tidaklah menjadikannya satu kekurangan dalam komunikasi. Komunikasi itu sendiri terjadi apabila dua pihak atau lebih saling memahami apa-apa yang disampaikan dan yang diterima.\nWalau bagaimanapun, kecenderungan penggunaan bahasa yang pelbagai menunjukkan jurang pemisah yang kian tinggi jika tidak saling memahami. Sebagai contoh, ada individu yang fasih menggunakan satu bahasa sahaja, iaitu bahasa Melayu tetapi tidak memahami perbualan atau tulisan individu lain yang menggunakan bahasa Inggeris.\nTidakkah perkara itu merugikan individu tersebut kerana maklumat yang diberikan tidak dapat diterima dengan sebaik-baiknya?\nSituasi sama juga boleh terjadi kepada individu lain yang fasih dalam satu bahasa sahaja seperti bahasa Tamil, namun tidak memahami mesej yang disampaikan dalam bahasa Melayu.\nMenggunakan hanya satu bahasa \u00a0sahaja untuk berkomunikasi akan mengehadkan kebolehan seseorang untuk berinteraksi dengan individu lain serta mewujudkan rasa ketidakselesaan antara pihak berkepentingan.\nPentingnya Meraikan dan Memahami Pelbagai Bahasa\nMemahami pelbagai bahasa di Malaysia sangat penting kerana membolehkan masyarakat berinteraksi dengan lebih banyak orang daripada pelbagai latar belakang budaya.\nDengan penguasaan pelbagai bahasa, masyarakat juga dapat melebarkan skop komunikasi yang lebih luas, khususnya dalam pemahaman budaya orang lain.\nSebagai rakyat Malaysia, kita dapat mengungkapkan pemikiran dan perasaan dalam berkomunikasi dengan orang lain daripada pelbagai budaya dengan bantuan bahasa yang bersifat fleksibel untuk mengenali, memahami, dan menerima budaya orang lain.\nDengan kemampuan untuk memahami dan menggunakan sesuatu bahasa, pada masa yang sama seseorang itu dapat berinteraksi dengan lebih baik dan belajar mengenai budaya, sejarah, suku kaum dan pelbagai hal lain selain memahami nilai dan prinsip budaya lain yang diserlahkan.\nSelain itu, kepelbagaian bahasa juga membantu masyarakat berkongsi pengetahuan. Adalah penting untuk menyokong dan memelihara pelbagai bahasa dalam masyarakat untuk mengekalkan budaya negara yang kaya dan beraneka ragam. \nSesungguhnya menguasai pelbagai bahasa merupakan suatu aspek yang sangat penting untuk diperjuangkan oleh setiap rakyat Malaysia. Yang penting, bahasa kebangsaan tetap dimartabatkan.\nSebagai sebuah negara yang berbilang kaum, seseorang itu memiliki hak untuk belajar dan menguasai pelbagai bahasa yang digunakan dalam kehidupan seharian. Selain itu, sangat penting untuk kita menganjurkan berbagai tugas komunikasi antara budaya, termasuklah mempelajari cara mengucapkan perkataan atau frasa dalam bahasa yang berbeza.\nDengan mempromosikan pembelajaran pelbagai bahasa, seseorang itu boleh membina jaringan perhubungan di antara orang yang berbeza daripada latar belakang yang berbeza.\nSelain itu juga boleh menggalakkan pendidikan komunikasi yang sihat antara orang yang berlainan budaya atau agama. Tidak kira sama ada berminat untuk bekerja di sektor perkhidmatan awam, pendidikan atau kerajaan, memahami sejumlah bahasa akan memberikan kita satu kelebihan.\nKekurangan Ilmu Pelbagai Bahasa Mengehadkan Keistimewaan Diri\nJika dilihat dari segi kelebihan menguasai dan menggunakan pelbagai bahasa dalam kehidupan seharian dapat memberikan keistimewaan tanpa had, elok juga dilihat dari segi kekurangan yang bakal dihadapi oleh seseorang individu jika mengehadkan satu bahasa sahaja yang dominan dalam diri.\nKekurangan daripada individu yang mengehadkan satu bahasa yang difahami boleh menjadi masalah. Kebanyakan kelemahan ini tidak dapat dilihat pada permulaan, namun akan menjadi masalah penting dengan peredaran masa.\nKebanyakan bahasa mengandungi kata-kata yang tidak dapat diserap dan difahami oleh bahasa yang dominan dalam diri individu seperti istilah sains, seni dan budaya. Hal ini bermaksud bahawa seseorang yang terhad pada satu bahasa mungkin tidak akan dapat mengikuti perkembangan teknologi, sains dan seni.\nSatu daripada kekangan yang sering dialami adalah melalui peluang pekerjaan. Kekangan dalam peluang pekerjaan akan dapat dirasai jika seseorang itu hanya berbekalkan satu bahasa sahaja. Bukanlah menafikan keagungan sesuatu bahasa contohnya bahasa Melayu, namun kepelbagaian bahasa yang dipelajari membawa banyak kebaikan.\nSebagai contoh, hal itu dapat dirasai apabila seseorang hanya fasih satu bahasa dan hal ini akan memberikan impak kepada ekonomi negara. Menurut Gritzer dalam The Benefits of Being Multilingual, hal ini dapat dilihat dalam ekonomi global yang amat mementingkan syarikat yang mencari dan menggaji pekerja yang fasih dalam pelbagai bahasa untuk kebolehlihatan syarikat dan individu tersebut juga.\nSatu daripada kekurangan lain yang dialami apabila seseorang itu membatasi diri dengan satu bahasa sahaja ialah kekangan dalam berkomunikasi dengan seseorang daripada latar belakang budaya yang berbeza.\nSetiap bahasa memiliki struktur, semantik, dan kosa kata yang unik. Dengan memahami lebih daripada satu bahasa,\u00a0 seseorang individu itu dapat memahami cara berfikir dan perilaku orang lain daripada latar belakang budaya yang berlainan.\nDengan mengehadkan diri pada satu bahasa, individu tersebut mungkin kehilangan peluang untuk memperluas pengalaman serta pandangan mereka pada dunia luar.\nTambahan pula, peluang dan pengalaman yang terbatas akibat kecenderungan pada satu bahasa sahaja dapat dilihat menerusi hubungan perniagaan. Dalam lingkungan global yang semakin meluas lebih-lebih lagi dalam dunia tanpa sempadan, kemampuan untuk berkomunikasi dengan orang-orang daripada pelbagai bahasa dan budaya menjadi semakin penting.\nIndividu yang hanya mampu berkomunikasi dalam satu bahasa mungkin terbatas dalam kemampuan mereka untuk mengejar kerjaya di syarikat yang bertaraf antarabangsa atau yang mendahulukan kepelbagaian bahasa dalam komunikasinya.\nOleh sebab itu, sangatlah penting bagi seseorang individu itu memperluas kemampuan mereka dalam berbicara menggunakan bahasa asing atau bahasa selain bahasa dominan agar dapat mengembangkan pemahaman yang lebih luas tentang dunia kerjaya di sekitar mereka.\nTambah Gritzer, pengetahuan yang diperoleh daripada pelbagai sumber termasuklah dokumen bertulis, media dan komunikasi dalam pelbagai bahasa memberikan potensi yang lebih mendalam dalam memahami dunia sebenar.\nOleh sebab pentingnya mengagungkan dan memartabatkan bahasa kebangsaan dan keperluan mendalami pelbagai bahasa, maka tugas dan kesedaran ini perlulah dipikul oleh semua pihak.\nTanggungjawab dalam memberikan kesedaran tentang isu bahasa perlulah digalas bersama-sama oleh banyak pihak dan daripada pelbagai peringkat masyarakat.\nTanggungjawab memartabatkan bahasa juga tidak hanya disandarkan kepada DBP sahaja. Semangat mencintai bahasa kebangsaan perlu dipupuk pada setiap masa dan bukan setakat pada bulan tertentu dan perlulah diraikan penggunaannya bersama-sama.\nSeiring dengan keperluan mencintai bahasa kebangsaan, tidaklah menjadi suatu kesalahan dalam mempelajari dan menambah ilmu pengetahuan tentang bahasa asing yang menjadi suatu kelebihan kepada masyarakat umum.\nHal ini menjadikan masyarakat kita mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan masyarakat serata dunia untuk bersaing dalam semua aspek di peringkat global. Oleh itu, tingkatkan martabat bahasa kebangsaan, tambahkan ilmu di dada menerokai ilmu bahasa asing.\n\u00a0\n\u00a0\nNuruladilah Mohamed \u2013 Pensyarah Bahasa Inggeris di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Terengganu." "Pelajar Jepun Belajar Bahasa Isyarat Bahasa Melayu dalam Program Sensei\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Tujuh orang pelajar Jepun dari Tokyo University of Foreign Studies (TUFS) bukan sahaja fasih berbahasa Melayu, malah mahir berbahasa isyarat dengan menggunakan kod tangan bahasa Melayu.\nKefasihan dan kemahiran kumpulan berkenaan terserlah ketika mereka berkomunikasi dengan guru dan para pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, semasa kunjungan mereka ke sana baru-baru ini.\nPara pelajar TUFS ini mengambil jurusan Bahasa Melayu di universiti tersebut sejak 16 bulan lepas. Bersama-sama tenaga pengajarnya, Puan Faridah Mohamed, mereka mengadakan \u201cProgram Sensei Kembara Ilmu\u201d di beberapa lokasi di Malaysia.\nDi IPGKIK, pelajar TUFS bersama-sama para pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), mendalami ungkapan bahasa Melayu yang berkaitan dengan budaya makan, pakaian dan permainan tradisional masyarakat Malaysia, termasuklah berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.\nRozita (nama Melayu) atau nama sebenarnya, Risako Yamazaki, 20 tahun, amat teruja dengan pengalaman yang dilaluinya di IPGKIK.\nSaya sangat teruja dengan peragaan pakaian tradisional yang sangat unik dan menarik. Selain itu, saya tidak boleh melupakan pengalaman belajar bahasa Melayu yang ditambah dengan kemahiran berbahasa isyarat. Suatu pengalaman yang sangat menarik dan saya tidak akan mendapatnya di tempat lain.\nPelajar IPGKIK yang juga Pengarah Program, Athierah Mohd Azrie, 20 tahun, turut bersyukur kerana diberi peluang merealisasikan program yang bertaraf antarabangsa ini.\nKatanya, sebagai pelajar opsyen Bahasa Melayu, beliau dan rakan-rakan berpeluang mengaplikasikan kuliah yang dipelajari dalam situasi sebenar.\nKami perlu mendalami setiap adat dan budaya masyarakat Malaysia seperti adat makan orang Melayu yang duduk bersimpuh, makan menggunakan tangan dan fungsi jari ketika menyuapkan makanan dan lain-lain.\nSementara itu, Puan Norani Abd Rahim, Pensyarah Kursus Bahasa Melayu di IPGKIK, yang juga Pengurus Program amat berbangga dengan usaha dan ketelitian para pelajar IPGKIK menterjemahkan budaya masyarakat Malaysia kepada pelajar TUFS ini.\nKatanya, mereka bukan sahaja melakukan demonstrasi makan secara tradisional, memperagakan pakaian tradisional dan permainan tradisional bahkan turut menghasilkan ikon sensori yang beridentitikan Malaysia.\nBeliau berkata, ikon sensori yang dibangunkan ini unik kerana ikon berkenaan khusus untuk murid berkeperluan pendidikan khas (masalah pembelajaran).\nIkon Tun Fatimah dan Keluarga Limau ini akan digunakan bagi terapi motor halus murid-murid ini. Dalam pembelajaran, terapi boleh meningkatkan motor halus murid termasuklah kekuatan jari-jemari, koordinasi mata dan tangan dan sebagainya.\nUntuk rekod, projek ini mengambil masa setahun sebelum ikon sensori ini ditunjukkan kepada umum." "Bahasa Melayu akan Unggul Sekiranya .\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan negara Malaysia. Oleh itu, setiap rakyat seharusnya fasih dan mampu bertutur menggunakan bahasa Melayu sebagai lambang jati diri seorang warganegara Malaysia. Walau bagaimanapun, kini masih terdapat sesetengah masyarakat yang tidak mahir dan tidak mampu bertutur menggunakan bahasa ini.\nAntara puncanya termasuklah kecenderungan ibu bapa yang lebih suka melihat anak masing-masing bertutur dalam bahasa lain, seperti bahasa Inggeris. Kesannya, sesetengah kanak-kanak pada masa ini langsung tidak mahir atau tidak mampu bertutur dalam bahasa Melayu.\nJika keadaan ini berterusan, bahasa Melayu dibimbangi terus ketinggalan dari semasa ke semasa, terutamanya pada era yang semakin canggih dengan sains dan teknologi moden ini. Oleh itu, pelbagai langkah atau cara perlu dilakukan oleh pelbagai pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan bahasa Melayu tidak terus ketinggalan.\nAntara langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan bahasa Melayu terus ketinggalan termasuklah menggalakkan penerbitan buku, bahan bacaan, seni lagu dan kandungan digital yang menggunakan bahasa Melayu oleh pihak kerajaan. Kini perkembangan bidang penerbitan dilihat semakin perlahan kesan daripada revolusi teknologi pada hari ini. Masalah ini perlu diatasi dengan segeranya.\nPada asalnya, masyarakat terdahulu disajikan dengan bait sajak dan syair daripada karyawan yang mampu menyuntik semangat diri dan cinta akan negara. Kini perkara tersebut sudah hampir-hampir tidak berlaku disebabkan oleh kemajuan pesat pada era ini.\nMasyarakat pada hari ini tidak lagi mempunyai karya yang sarat dengan ilmu yang mampu melahirkan semangat cinta akan negara dan memupuk nilai murni yang lain. Masyarakat juga disajikan dengan drama dan hiburan yang matlamatnya untuk membuat penonton tertawa, bukannya membentuk minda masyarakat ke arah yang lebih baik.\nPersepsi dan budaya ini seharusnya disedari oleh semua pihak. Tindakan yang bijak pula perlu diambil untuk mengubahnya kepada perkara yang lebih bermanfaat. Contohnya, masyarakat terdahulu di kawasan pantai timur Semenanjung mempunyai seni wayang kulit yang mengetengahkan isu semasa dan memberikan pengajaran kepada penonton yang menikmati seni warisan tersebut.\nKarya dan terbitan kreatif yang menggunakan bahasa ibunda akan lebih bermakna jika masyarakat mula menghargainya dan secara tidak langsung memartabatkan lagi bahasa kebangsaan.\nSelain itu, langkah lain yang boleh diambil oleh pihak kerajaan adalah dengan memperkasakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat banyak peranan DBP yang bertujuan untuk memartabatkan bahasa Melayu.\nAntaranya termasuklah membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang, termasuklah sains dan teknologi. Bukan itu sahaja, DBP juga berperanan dalam membakukan ejaan dan sebutan, serta membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan.\nBeberapa Jawatankuasa Istilah (JKI) telah ditubuhkan oleh DBP dengan kerjasama institusi pengajian tinggi awam untuk mengumpul, membentuk dan menyebarluaskan istilah bahasa Melayu dalam bidang sains asas dan sains gunaan.\nSituasi yang dinyatakan ini menyaksikan perancangan korpus bahasa Melayu berkembang dengan begitu pesat. Oleh itu, pihak kerajaan seharusnya memainkan peranan yang penting untuk membantu DBP memartabatkan bahasa Melayu, seperti memberikan bantuan dari segi kewangan atau infrastruktur yang terkini.\nBantuan dalam bentuk kewangan seharusnya diberikan secara konsisten agar pelbagai aktiviti yang bertujuan untuk memartabatkan bahasa Melayu dapat dijalankan seperti aktiviti Sayembara Pidato Antarabangsa yang biasanya dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Pelancongan, dengan usaha sama Radio Televisyen Malaysia (RTM). Kesannya, bahasa Melayu dapat terus dimartabatkan melalui aktiviti yang dianjurkan oleh pihak yang bertanggungjawab.\nSeterusnya, pihak kerajaan juga perlu memastikan bahawa setiap urusan rasmi negara menggunakan bahasa kebangsaan. Setiap Ketua Jabatan pula perlu memastikan setiap urusan rasmi anjuran jabatan masing-masing menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.\nSituasi ini bertujuan untuk memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam. Contohnya, penyediaan surat-menyurat setiap agensi kerajaan perlulah menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.\nBukan itu sahaja, semua penjawat awam juga seharusnya menggunakan bahasa Melayu dengan baiknya dalam setiap urusan rasmi, sama ada dalam wacana lisan atau tulisan. Penjawat awam yang kurang mahir berbahasa Melayu digalakkan untuk sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bahasa Melayu.\nAntaranya termasuklah dengan cara menghadiri latihan dan pembangunan kompetensi yang dianjurkan oleh agensi bahasa yang bersesuaian bagi memastikan kemahiran dan pengetahuan bahasa Melayunya dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa. Menerusi langkah ini, barulah bahasa Melayu dapat terus digunakan secara meluas dalam setiap urusan pentadbiran negara.\nDi samping itu, langkah berkesan yang boleh diambil adalah dengan memansuhkan sekolah vernakular. Langkah ini bukan bertujuan untuk mendiskriminasikan kaum lain, tetapi terbukti bahawa kebanyakan murid yang belajar di sekolah vernakular sukar bertutur dalam bahasa Melayu.\nSituasi ini akan melahirkan warganegara Malaysia yang tidak fasih atau tidak mampu bertutur dalam bahasa Melayu. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana memberikan banyak kesan buruk kepada negara. Oleh itu, pemansuhan sekolah vernakular seharusnya dilakukan untuk membolehkan setiap rakyat dapat berkomunikasi dengan baiknya antara satu dengan lain tanpa mengira bangsa dan agama.\nDalam hal ini, masyarakat perlu menyedari bahawa bahasa merupakan agen perpaduan yang paling asas. Maka itu, bahasa Melayu perlu dipupuk bermula pada peringkat sekolah agar perpaduan dapat dibentuk di negara ini.\nPihak yang bertanggungjawab, iaitu pihak kerajaan seharusnya bersikap tegas terhadap cadangan penghapusan sekolah ini bagi melahirkan warganegara yang fasih berbahasa Melayu. Secara tidak langsung, tindakan ini dapat memastikan bahasa Melayu terus relevan untuk mendepani dunia yang semakin moden dari semasa ke semasa.\nKesimpulannya, bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia sewajarnya terus dimartabatkan walaupun menghadapi pelbagai cabaran untuk memastikan bahasa ini terus relevan pada peringkat antarabangsa.\nOleh itu, pihak yang bertanggungjawab seharusnya menggembleng tenaga dan berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan langkah yang proaktif bagi memastikan bahasa Melayu tidak ketinggalan zaman.\nIsu ini tidak boleh dianggap remeh kerana boleh menjadi duri dalam daging kepada negara Malaysia. Jika bahasa Melayu dapat terus digunakan dan dimartabatkan, Malaysia mampu melahirkan lebih banyak modal insan yang sentiasa mengamalkan hidup bersatu padu dan harmoni." "Peserta Pelbagai Etnik Sarawak Berkongsi Istilah Bahasa Sukuan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Sebanyak 25 orang peserta daripada pelbagai etnik seperti daripada suku Melanau (Jerijih, Mukah, Ajang, Igan, Seduan, Mato), Kiput, Kayan, Remun, Bisaya, Punan, Melayu, Bidayuh, Kejaman dan Berawan, telah menghadiri Bengkel Kerja Pangkalan Data Bahasa Sukuan Sarawak (PDUBSS), yang diadakan selama empat hari yang bermula pada 16 Mac 2023 hingga 19 Mac 2023 di Penview Hotel, Kuching, Sarawak. Bengkel ini telah disempurnakan oleh Encik Abang Haliman Abang Julai, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak.\nBengkel kerja yang memfokuskan perkongsian istilah bahasa sukuan yang merangkumi kerja-kerja pengenalpastian bahasa dan dialek daerah di seluruh Sarawak ini merupakan inisiatif awal DBP Cawangan Sarawak mendokumentasikan istilah bahasa sukuan berdasarkan beberapa tatacara.\nAntara perkataan sukuan Sarawak yang telah diterima pakai oleh pengguna bahasa masyarakat majmuk di Malaysia termasuklah perkataan seperti awah, reruai dan merarau.\nBengkel kerja tersebut turut dibahagikan kepada beberapa sesi. Antaranya termasuklah sesi perkongsian para peserta tentang istilah bahasa sukuan dan adat budaya warisan etnik masing-masing berdasarkan tema yang ditetapkan pada tahun ini, iaitu adat perkahwinan, adat pertunangan dan permainan tradisional etnik.\nBengkel Kerja PDUBSS ini merupakan program tahunan Unit Pembinaan dan Penyelidikan Bahasa, serta antara usaha yang dilaksanakan oleh DBP Cawangan Sarawak dalam mendokumentasikan pelbagai bahasa sukuan di Sarawak.\nMenurut Encik Abang Haliman Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak dalam ucapannya semasa sesi penangguhan Bengkel Kerja PDUBSS, terdapat empat bahasa sukuan Sarawak yang telah disahkan pupus seperti bahasa Seru, Pegu, Bliun dan Lelak.\nOleh hal yang demikian, DBP Cawangan Sarawak sentiasa berbesar hati dalam menjalinkan sinergi dengan para pemegang taruh yang terdiri daripada individu dan pelbagai persatuan etnik dalam mendokumentasikan bahasa sukuan.\nTambah beliau lagi, hasil daripada garapan sinergi tersebut juga secara tidak langsung membantu pihak DBP Cawangan Sarawak mendokumentasikan bahasa sukuan dan menerbitkan pelbagai kamus serta daftar kata bahasa sukuan Sarawak yang diusahakan selama ini.\nContohnya seperti Kamus Bahasa Iban \u2013 Melayu Dewan, Kamus Bahasa Vaie \u2013 Bahasa Melayu, Kamus Melayu Dewan \u2013 Melanau Mukah, Daftar Kata Bahasa Melayu \u2013 Bahasa Bakong dan Daftar Kata Bahasa Melayu \u2013 Bahasa Kenyah Cebup." "Cabaran dalam Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ibunda Penutur Asli Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBahasa ialah alat yang digunakan untuk tujuan berkomunikasi antara satu sama lain. Selain itu, bahasa sebagai jambatan yang menghubungkan sesama manusia tanpa mengira warna kulit atau batas sempadan. Bahasa melambangkan jiwa sesuatu bangsa. Keperibadian sesuatu bangsa diukur melalui penggunaan dan pengamalan bahasa dalam sesebuah masyarakat. Nilai hidup yang semakin berubah kesan daripada globalisasi yang melanda dunia mengancam amalan berbahasa sesuatu bangsa sehingga menjadi api dalam sekam yang menggugat budaya peradaban bangsa.\nMalaysia pula sebuah negara unik kerana kepelbagaian bangsa yang menghuninya. Setiap etnik memiliki bahasa dan budaya yang tersendiri. Masyarakat yang berbilang bangsa ini bertutur menggunakan bahasa ibunda masing-masing ketika berkomunikasi dalam kalangan mereka sendiri. Walau bagaimanapun, setiap rakyat negara ini jelas menerima serta mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini.\nBahasa Melayu memiliki sejarah yang panjang sejak abad ke-7 apabila kerajaan Srivijaya menggunakan bahasa Melayu. Pada waktu itu, bahasa Melayu dikenali sebagai bahasa Melayu Kuno. Selanjutnya, kerajaan Melaka mengangkat bahasa Melayu ke tahap kegemilangan bermula pada abad ke-13 seiring dengan kedudukannya sebagai pusat perdagangan serantau. Bahasa Melayu menjadi lingua franca dan dipertuturkan dengan meluas. Sejarah Melayu juga mencatatkan bahawa para pedagang berusaha untuk mempelajari serta menguasai bahasa Melayu bagi memudahkan mereka berkomunikasi dengan pemimpin dan masyarakat di Tanah Melayu bagi tujuan berdagang.\nApabila negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. Kedudukannya termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. Peranannya sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengantar di sekolah turut diperkukuhkan melalui Akta Pendidikan. Sekolah sebagai tempat terbaik untuk menyemai perasaan cinta akan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda. Meskipun cabarannya getir, hasilnya terlihat pada sekitar tahun 1970-an dan tahun 1980-an apabila rakyat Malaysia menggunakan bahasa Melayu dalam pertuturan harian mereka.\nBahasa ibunda pula merupakan bahasa pertama yang dikuasai dan diwarisi oleh manusia ketika mula mengenal dunia. Bahasa ini dikuasai oleh seseorang daripada ibu bapa atau penjaga. Penguasaan bahasa ibunda membolehkan seseorang mengungkapkan pemikiran serta perasaannya. Seseorang individu lebih mudah dan yakin untuk mengutarakan penyataan pemikiran serta perasaannya melalui bahasa ibunda berbanding dengan bahasa kedua yang dipelajarinya. Slogan \u201cBahasa Jiwa\u201c menegaskan betapa jati diri seseorang itu ditentukan oleh bahasa yang dipertuturkan secara warisan.\nWalau bagaimanapun, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan kini semakin tercabar di negara ini. Penerimaan serta penggunaan bahasa Melayu oleh rakyat jelas amat mengecewakan. Lebih malang lagi, bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dalam kalangan penutur bahasa Melayu turut tercabar kedudukannya. Sejak belakangan ini, bilangan penutur bahasa Melayu yang bahasa ibundanya bahasa Melayu terus berkurangan. Banyak dalam kalangan mereka lebih suka dan rela menggunakan bahasa Inggeris meskipun kurang fasih dalam bahasa tersebut.\nPerkembangan era globalisasi pada ketika ini memungkinkan penyaluran maklumat tanpa tapisan ke serata pelosok dunia. Tidak ada negara yang terkecuali daripada perkembangan ini. Arus globalisasi yang melanda dunia meninggalkan impak yang cukup besar dalam kehidupan harian manusia. Impak globalisasi memungkinkan bahasa Inggeris terus berkembang sebagai bahasa yang penting di kebanyakan negara. Menurut Mohd Asraf (2005), bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia dan antarabangsa dan pengaruhnya tersebar luas ke seluruh dunia sehingga tidak ada negara yang tidak menggunakan bahasa Inggeris.\nPeningkatan dalam penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau ketiga pula meninggalkan kesan kepada sistem pendidikan di negara-negara tersebut. Satu daripada bidang kehidupan yang terkesan akibat fenomena ini ialah bahasa. Globalisasi dianggap sebagai pembunuh bahasa ibunda. Apa tidaknya, dalam keghairahan mengejar teknologi maklumat, penutur bahasa Melayu khususnya semakin menjarakkan diri daripada bahasa ibunda mereka. Hal ini demikian kerana hampir semua maklumat yang diperoleh daripada internet terdapat dalam bahasa Inggeris.\nPerkara ini pernah diakui oleh Noriah Mohamed (2005) yang menganggarkan bahawa 80 peratus daripada laman sesawang yang digunakan terdapat dalam bahasa Inggeris. Jumlah laman sesawang masih kurang sehingga menyebabkan penutur bahasa Melayu terpaksa mencari maklumat dengan menggunakan bahasa Inggeris. Akibatnya, bahasa Melayu dipandang sepi dan bahasa Inggeris terus diagung-agungkan.\nSikap mengagung-agungkan bahasa Inggeris oleh generasi muda pada hari ini semakin tidak bersempadan. Bahasa Inggeris yang dianggap sebagai lingua franca dunia moden pada hari ini terus disanjung dan dimartabatkan sebagai bahasa penting dalam kehidupan harian. Ada juga yang tanpa segan silu menganggap atau menerima bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda hanya kerana mereka dan ibu bapa mereka bertutur dalam bahasa Inggeris. Demikian kuatnya pengaruh bahasa Inggeris menguasai kehidupan generasi muda ini.\nPengaruh bahasa Inggeris yang mewarnai kehidupan harian generasi muda kian ketara apabila banyak penutur bahasa Melayu yang bahasa ibundanya bahasa Melayu enggan atau malu untuk berbahasa Melayu. Mereka seolah-olah berusaha untuk menjauhkan diri daripada bahasa Melayu, yakni bahasa ibunda mereka sendiri. Ada juga yang tidak mampu berbahasa Inggeris dengan baik tetapi berusaha untuk menggunakannya walaupun mereka mempunyai pilihan untuk menggunakan bahasa Melayu. Bak kata pepatah, lebih sudu daripada kuah.\nPenularan pengaruh bahasa rojak dan slanga turut menjadi duri dalam daging bagi penutur bahasa. Penggunaan bahasa rojak di negara ini bukanlah perkara baharu kerana fenomena itu biasa bagi negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum. Proses mencampuradukkan bahasa ketika berkomunikasi antara satu sama lain menjadi sesuatu yang lumrah dan diterima sebagai gaya hidup harian. Generasi muda pada hari ini semakin ghairah mencampuradukkan penggunaan bahasa dalam proses komunikasi.\nDasar bahasa yang dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara merupakan kunci ke arah menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Pemilihan serta pelaksanaan bahasa Melayu sebagai medium perantara dalam sistem pendidikan negara diperkukuhkan melalui Akta Pendidikan 1961 berasaskan Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib. Laporan Razak yang diperkenalkan pada tahun 1956 dianggap sebagai batu asas bagi perkembangan sistem pendidikan kebangsaan.\nBerdasarkan laporan tersebut, pendidikan sebagai kunci penting kepada perpaduan negara dan bahasa Melayu sebagai alat untuk menyatukan rakyat daripada pelbagai etnik. Matlamat akhir Laporan Razak untuk menaikkan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama direalisasikan pada awal tahun 1960-an dengan tergubalnya Laporan Rahman Talib. Perakuan Laporan Rahman Talib untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dikanunkan dalam Akta Pelajaran 1961.\nPeranan dan status bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan terutamanya di institusi pendidikan tinggi swasta pula mengalami pengubahsuaian apabila Parlimen Malaysia meluluskan Akta Pendidikan 1996. Seksyen 2 dalam Akta Pendidikan 1996 mengatakan bahawa bahasa kebangsaan dijadikan bahasa pengantar di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Jelaslah, laporan tersebut telah mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara.\nWalau bagaimanapun, beberapa langkah yang dilaksanakan seperti pengenalan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) jelas mengganggu penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan penutur bahasa Melayu yang bahasa ibundanya bahasa Melayu dan bukan bahasa Melayu. Dasar PPSMI yang diumumkan pada 20 Julai 2002 dilaksanakan secara berperingkat bermula pada awal tahun 2003. Proses perubahan dasar ini berterusan sehingga melibatkan peringkat pendidikan rendah dan menengah pada tahun 2008. Rasional di sebalik pelaksanaan dasar ini adalah untuk mengukuhkan penguasaan mata pelajaran Sains dan Matematik melalui bahasa Inggeris kerana yang paling cepat berkembang dan disebarkan menerusi pelbagai media dalam bahasa Inggeris.\nPenerapan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan ternyata menggugat kedudukan bahasa Melayu. Hal ini bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan atau Akta Bahasa Kebangsaan 1967/68. PPSMI telah menghakis peranan dan kepentingan bahasa Melayu dalam kalangan penutur bahasa Melayu.\nOleh itu, langkah untuk mengembalikan martabat bahasa Melayu dalam kalangan penutur bahasa ibundanya bahasa Melayu sememangnya penuh ranjau dan berliku. Tugas itu bukan mudah, malah sarat dengan pelbagai cabaran. Pengukuhan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda penutur bahasa Melayu memerlukan komitmen daripada pelbagai pihak yang merangkumi pihak berkuasa, media serta penutur asli bahasa Melayu itu sendiri. Tanpa kesungguhan, kejayaan tidak akan terhasil. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Oleh itu, peranan setiap pihak yang terlibat amat ditagih demi kelestarian bahasa Melayu.\nPerubahan sikap penutur asli bahasa Melayu juga amat diharapkan agar usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu menampakkan hasilnya. Mereka perlu menyematkan rasa cinta yang tidak berbelah bagi di hati mereka. Mereka harus sedar bahawa sikap mengagung-agungkan bahasa Inggeris hanya akan merencatkan perkembangan bahasa Melayu, malah boleh mengakibatkan kepupusannya. Oleh itu, sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa yang disambut pada 21 Februari pada setiap tahun harus menjadi wadah untuk mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda penutur asli bahasa Melayu." "Frasa Berhujung Minggu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nAdakah penggunaan frasa berhujung minggu dalam ayat di bawah ini gramatis?\nDaripada:\nNurul Amirah Osman,\nPasir Gudang." "Pelajar IPG Kampus Temenggong Ibrahim Beroleh Ilmu Perkamusan dan Peristilahan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJohor Bahru \u2013 Sebanyak\u00a092 orang guru pelatih telah mengikuti Program Suluh Ilmu: Perkamusan dan Peristilahan Melayu, yang disampaikan oleh dua orang pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim (IPGKTI) pada 21 Mac 2023. Program tersebut diadakan sebagai nilai tambah kepada para peserta dalam meningkatkan ilmu tentang perkamusan dan peristilahan.\nSesi perkongsian ilmu tersebut disampaikan oleh YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin, Ketua Bahagian Perkamusan dan Encik Mohd Fadzli Tajuid, Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi. Selain pensyarah dari Jabatan Pengajian Melayu, IPGKTI, Pengarah DBP Wilayah Selatan, iaitu Encik Mohd Riduan Wahab turut hadir bagi menyokong program tersebut.\nMenurut YBrs Dr. Rusmadi, dalam bidang perkamusan, entri disusun mengikut kronologi.\nJika muncul satu makna baharu bagi perkataan yang sama ejaan dan sebutan dengan perkataan sedia ada, maka makna perkataan itu akan ditambahkan ke dalam entri mengikut urutan. Kamus tidak mengubah kedudukan perkataan yang dirakamkan terdahulu tetapi menambah makna baharu.\nSementara itu, Encik Mohd Fadzli pula menjelaskan bahawa dalam bidang peristilahan, sesuatu istilah itu diangkat setelah mendapat persetujuan daripada jawatankuasa yang terlibat. Beliau turut membimbing para pelajar tentang penggunaan Pusat Rujukan Perpustakaan Melayu (PRPM), selain mencari makna perkataan.\nMenurut seorang peserta, iaitu Puan Norasikin Muhammad Shariff, program ini mampu menjadi nilai tambah kepadanya tentang subjek perkamusan.\nSaya mendapat maklumat daripada sumber asli tentang cara penyusunan kamus yang lebih terperinci dan berperingkat. Saya juga sangat berpuas hati dengan ilmu yang diperoleh pada hari ini.\nSeorang lagi peserta, iaitu Leong Hui En menyatakan bahawa program tersebut amat berguna kepadanya khususnya dalam penggubalan istilah. Beliau sedar akan kerumitan untuk mendapatkan satu-satu istilah dan beliau amat menghargai usaha DBP dalam penggubalan istilah.\nBagi Priyatharishini a/p Tamil Vanan, ilmu yang disampaikan oleh kedua-dua penceramah sangat membantunya memahami dengan lanjut mengenai kursus Perkamusan, Peristilahan dan Penterjemahan yang diambilnya pada semester ini.\nProgram perkamusan dan peristilahan ini dapat menambahkan ilmu pengetahuan saya mengenai cara penyusunan kamus secara kronologi. Saya juga dapat mengetahui jenis kamus yang sesuai digunakan oleh murid sekolah rendah. Dalam hal ini, saya tidak akan mengulangi kesilapan untuk meminta murid membawa Kamus Dewan yang berat kerana mereka lebih sesuai menggunakan Kamus Pelajar.\n\u00a0\nProgram di bawah penyelarasan YBrs. Dr. Noraisikin Ghazali ini telah berjaya mencapai tujuannya. Para pelajar yang hadir melahirkan rasa bertuah mereka kerana mendapat ilmu secara langsung." "Kemahiran Mengarang untuk Penyampaian Idea yang Berkesan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Seseorang yang menguasai kemahiran mengarang dengan baik berupaya menyampaikan idea kepada khalayak dengan lebih berkesan. Demikian antara inti pati penting yang disampaikan oleh Encik Nawi Ismail yang juga seorang penulis dan pengajar dalam rancangan \u201cCakna Bahasa\u2013Panduan Penulisan Karangan\u201d, anjuran BERNAMA Radio semalam.\nMemiliki kemahiran menulis karangan bukan sahaja dapat membantu seseorang individu pada peringkat persekolahan bahkan sewaktu menjejakkan kaki ke alam pekerjaan. Seseorang yang menguasai kemahiran dalam penulisan juga dikatakan individu yang mempunyai kecekapan dan berketerampilan dalam berbahasa.\nBeliau berkata, banyak manfaat dapat diperoleh apabila seseorang itu menguasai kemahiran mengarang. \u00a0Melalui kemahiran tersebut, ucapan lisannya lebih jelas, tersusun, menarik dan terperinci.\nJika kita menguasai kemahiran mengarang di sekolah, maka apabila melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi atau alam pekerjaan, asas ilmu kepengarangan yang ada dapat digunakan untuk menulis tesis, laporan, kertas kerja, dan minit mesyuarat, dan teks ucapan.\nBeliau turut menegaskan bahawa amalan membaca merupakan amalan yang sangat penting, lebih-lebih lagi bagi pelajar sekolah. Amalan membaca berupaya membantu individu menambahkan ilmu pengetahuan dan pada masa yang sama didedahkan kepada penggunaan kosa kata tertentu dan gaya bahasa yang baik.\nNamun begitu, janganlah membaca sahaja tetapi mencatatkan maklumat penting untuk lebih berkesan.\nTambah beliau, antara kesalahan tatabahasa yang sering kali berlaku termasuklah penggunaan \u201ckepada\u201d, \u201catas\u201d dan \u201cdi atas\u201d, \u201cdalam\u201d, dan \u201cdi dalam\u201d.\u00a0Kesalahan lain ialah penggunaan ejaan seperti tengah hari, urus setia, juruwang, jurutera, dan juruukur." "Analisis Ayat Majmuk Berdasarkan Pola Ayat Dasar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAyat dasar merupakan asas atau sumber pembentukan semua ayat dalam sesuatu bahasa. Oleh itu, semua ayat dapat dianalisis rangka asasnya berlandaskan pola ayat dasar. Bagi bahasa Melayu, ayat dasarnya mempunyai empat pola, iaitu Frasa Nama + Frasa Nama, Frasa Nama + Frasa Kerja, Frasa Nama + Frasa Adjektif dan Frasa Nama + Frasa Sendi Nama.\nAyat dasar harus merupakan satu klausa bebas yang mempunyai satu subjek dan satu predikat. Selain itu, ayat dasar ialah ayat penyata, ayat aktif, dan ayat susunan biasa. Akhir sekali, ayat dasar tidak mengalami proses penerbitan ayat seperti peluasan, pengguguran dan penyusunan semula\nAyat majmuk dalam bahasa Melayu meliputi ayat majmuk gabungan, ayat majmuk pancangan dan ayat majmuk campuran. Selanjutnya, ayat majmuk pancangan meliputi ayat majmuk pancangan relatif, ayat majmuk pancangan komplemen dan ayat majmuk pancangan keterangan. Walaupun ayat majmuk meliputi pelbagai jenis, ragam dan susunan ayat, untuk memudahkan perbincangan, kita hanya meneliti contoh ayat penyata majmuk.\nBagaimanakah kita mengaitkan binaan ayat majmuk gabungan dengan pola ayat dasar? Sila lihat contoh yang berikut:\n1a. \u00a0Ali dan Ahmad berkawan rapat.\n1b. \u00a0Dia balik, lalu berehat.\n\u00a0\nAyat majmuk gabungan terbina apabila dua klausa bebas atau lebih digabungkan. Oleh sebab itu, ayat tersebut bukan terbina daripada satu ayat dasar, tetapi sejumlah ayat dasar yang bergabung. Sila lihat analisis yang berikut:\n1a. \u00a0Ali dan Ahmad berkawan rapat.\nAyat dasar 1: subjek (Ali) + predikat (berkawan rapat dengan Ahmad)\nAyat dasar 2: subjek (Ahmad) + predikat (berkawan rapat dengan Ali)\nAyat yang lengkap: Ali berkawan rapat dengan Ahmad dan Ahmad berkawan rapat dengan Ali.\nUnsur transformasi:\u00a0Pengguguran satu atau lebih unsur yang sama dalam predikat kedua-dua ayat, dan menggabungkan subjek kedua-dua ayat dengan kata hubung gabungan dan.\n\u00a0\n1b. \u00a0Dia balik, lalu berehat.\nAyat dasar 1: subjek (dia) + predikat (balik)\nAyat dasar 2: subjek (dia) + predikat (berehat)\nAyat yang lengkap: Dia balik lalu dia berehat.\nUnsur transformasi:\u00a0Pengguguran subjek yang sama dalam ayat kedua, dan menggabungkan predikat kedua-dua ayat dengan kata hubung gabungan lalu.\n\u00a0\nAyat majmuk pancangan terbina daripada satu klausa bebas dan satu klausa tak bebas yang dipancangkan pada klausa bebas. Bagi ayat majmuk pancangan relatif, terdapat kata hubung relatif yang. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n2a. \u00a0Guru yang muda itu rajin.\n2b. \u00a0Dia membeli kereta yang baharu.\n\u00a0\nBagi ayat majmuk pancangan relatif, hanya klausa bebas menjadi unsur pembina ayat dasar, sedangkan klausa tak bebas (klausa relatif) merupakan unsur opsyenal yang boleh ditiadakan. Sila lihat analisis yang berikut:\n2a. \u00a0Guru yang muda itu rajin.\nAyat dasar/klausa bebas: Guru itu rajin\nKlausa tak bebas/unsur opsyenal: yang muda (guru muda)\nUnsur transformasi: Penambahan klausa relatif tak bebas yang muda itu\u00a0pada ayat dasar untuk memberikan maklumat tambahan kepada subjek ayat dasar.\n\u00a0\n2b. \u00a0Dia membeli kereta yang baharu.\nAyat dasar/klausa bebas: Dia membeli kereta.\nKlausa tak bebas/unsur opsyenal: yang baharu (kereta baharu)\nUnsur transformasi: Penambahan klausa relatif tak bebas yang baharu\u00a0pada ayat dasar untuk memberikan maklumat tambahan kepada predikat ayat dasar.\n\u00a0\nBagi ayat majmuk pancangan keterangan, hanya klausa bebas menjadi unsur pembina ayat dasar, sedangkan klausa tak bebas (klausa keterangan) merupakan unsur opsyenal yang boleh ditiadakan. Klausa yang berkenaan menjadi tidak bebas kerana berpangkalkan kata hubung keterangan seperti kerana,\u00a0jika, apabila, walaupun dan sebagainya. Sila lihat analisis yang berikut:\n3a. \u00a0Dia tidak hadir kerana sakit.\n3b. \u00a0Jika tidak sibuk, dia akan bercuti.\n\u00a0\n3a. \u00a0Dia tidak hadir kerana sakit.\nAyat dasar/klausa bebas: Dia tidak hadir.\nKlausa tak bebas/unsur opsyenal: kerana dia sakit\nUnsur transformasi: Penambahan klausa keterangan tak bebas kerana dia sakit\u00a0pada ayat dasar untuk memberikan maklumat tambahan pada predikat ayat dasar. Selain itu, subjek yang sama digugurkan satu daripadanya.\n\u00a0\n3b. \u00a0Jika tidak sibuk, dia akan bercuti.\nAyat dasar/klausa bebas: Dia akan bercuti.\nKlausa tak bebas/unsur opsyenal: jika dia tidak sibuk\nUnsur transformasi: Penambahan klausa keterangan tak bebas jika dia tidak sibuk\u00a0pada ayat dasar untuk memberikan maklumat tambahan pada predikat ayat dasar. Selain itu, subjek yang sama digugurkan satu daripadanya, dan susunan ayat tersebut disongsangkan.\n\u00a0\nBagi ayat majmuk pancangan komplemen, hanya klausa bebas menjadi unsur pembina ayat dasar, sedangkan klausa tak bebas (klausa komplemen) dipancangkan sebagai subjek, predikat atau bahagian predikat ayat. Klausa yang berkenaan menjadi tidak bebas kerana berpangkalkan kata hubung komplemen bahawa\u00a0atau untuk. Dalam hal ini, klausa komplemen tak bebas tidak boleh ditiadakan tetapi boleh diganti secara paradigmatik dengan frasa nama seperti hal itu atau frasa sendi nama seperti\u00a0seperti itu.\u00a0Sila lihat analisis yang berikut:\n4a. \u00a0Bahawa dia jujur adalah benar.\n4b. \u00a0Untuk dia lulus adalah sukar.\n\u00a0\n5a. \u00a0Dia mengetahui bahawa hal itu benar.\n5b. \u00a0Dia berpendapat bahawa keadilan penting.\n\u00a0\nAnalisis bagi ayat kelompok 4 adalah seperti yang berikut:\n4a. \u00a0Bahawa dia jujur adalah benar.\nAyat dasar: Hal itu adalah benar.\nKlausa tak bebas/komplemen: bahawa dia jujur\nUnsur transformasi: Klausa komplemen tak bebas bahawa dia jujur\u00a0dipancangkan pada ayat dasar untuk mengambil tempat subjek ayat seperti frasa nama hal itu.\n\u00a0\n4b. \u00a0Untuk dia lulus adalah sukar.\nAyat dasar: Hal itu adalah sukar.\nKlausa tak bebas/komplemen: untuk dia lulus\nUnsur transformasi: Klausa komplemen tak bebas untuk dia lulus\u00a0dipancangkan pada ayat dasar untuk mengambil tempat subjek ayat seperti frasa nama hal itu.\n\u00a0\nAnalisis bagi ayat kelompok 5 adalah seperti yang berikut:\n5a. \u00a0Dia mengetahui bahawa hal itu benar.\nAyat dasar: Dia mengetahui hal itu.\nKlausa tak bebas/komplemen: bahawa hal itu benar\nUnsur transformasi:\u00a0Klausa komplemen tak bebas bahawa hal itu benar\u00a0dipancangkan pada ayat dasar untuk mengambil tempat objek ayat seperti frasa nama hal itu.\n\u00a0\n5b. \u00a0Dia berpendapat bahawa keadilan penting.\nAyat dasar: Dia berpendapat seperti itu.\nKlausa tak bebas/komplemen: bahawa keadilan penting\nUnsur transformasi:\u00a0Klausa komplemen tak bebas bahawa keadilan penting\u00a0dipancangkan pada ayat dasar untuk mengambil tempat pelengkap ayat seperti frasa sendi nama seperti itu.\n\u00a0\nBagi ayat majmuk campuran, mungkin terdapat satu atau lebih ayat dasar, bergantung jumlah klausa bebas yang hadir. Dalam hal ini, klausa tak bebas tetap tidak diambil kira sebagai ayat dasar. Sila lihat analisis yang berikut:\n6a. \u00a0Dia membeli kasut yang mahal tetapi berkualiti.\n6b. \u00a0Aminah dan Hasnah mengatakan bahawa guru mereka rajin.\n\u00a0\n6a. Dia membeli kasut yang mahal tetapi berkualiti.\nAyat dasar 1: Dia membeli kasut.\nAyat dasar 2: Kasut itu berkualiti\nKlausa tak bebas: yang mahal (kasut mahal)\nUnsur transformasi:\u00a0Subjek kasut\u00a0yang sama digugurkan satu daripadanya, penambahan kata hubung gabungan tetapi\u00a0dan kata hubung relatif yang.\n\u00a0\n6b. \u00a0Aminah, Aluyah dan Hasnah mengatakan bahawa guru mereka rajin.\nAyat dasar 1: Aminah mengatakan hal itu.\nAyat dasar 2: Aluyah mengatakan hal itu.\nAyat dasar 3: Hasnah mengatakan hal itu.\nKlausa tak bebas: bahawa guru mereka rajin\nUnsur transformasi: Subjek 3 ayat dasar tersebut digabungkan dengan kata hubung gabungan dan, predikat mengatakan\u00a0bahawa guru mereka rajin\u00a0digugurkan satu daripadanya." "Menjelmakan Istilah yang Menarik dalam Belanjawan 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPertama sekali, penulis bukanlah berlatar belakangkan bidang kesusasteraan mahupun pengajian Bahasa Melayu. Hendak dikatakan pakar dalam bidang pendidikan, bukan juga. Pakar bahasa, jauh sekali. Penulis hanyalah ahli akademik dan penyelidik dalam bidang pendidikan Matematik yang sangat menyanjung tinggi bahasa kebangsaan Malaysia,\u00a0iaitu bahasa Melayu.\nWalaupun berada dalam bidang pendidikan Matematik di Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), penulis banyak menulis artikel, kertas kerja, usulan penyelidikan, dan seterusnya melaksanakan penyelidikan dalam bahasa Melayu.\nDari\u00a0aspek pengajaran, walaupun terdapat mahasiswa yang memberikan aduan mengenai penggunaan bahasa Inggeris,\u00a0penulis yang terhad dalam kuliah peringkat prasiswazah, hal itu\u00a0tidak sesekali mematahkan semangat penulis untuk terus memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan\u00a0pada\u00a0peringkat pendidikan tinggi.\nTambahan pula, sudah terang lagikan bersuluh bahawa bahasa pengantar rasmi untuk amalan pengajaran dan pembelajaran di UTM ialah bahasa Melayu. Jika pada\u00a0peringkat pascasiswazah, lain\u00a0pula\u00a0ceritanya. Walaupun hanya\u00a0terdapat seorang mahasiswa antarabangsa yang selain dari Indonesia ataupun Brunei, penggunaan bahasa Inggeris wajib digunakan di dalam dewan kuliah. Meskipun begitu, penulis tetap menggalakkan mahasiswa antarabangsa untuk mempelajari bahasa kebangsaan yang indah ini.\nDari\u00a0aspek penyeliaan mahasiswa, pelajar tempatan digalakkan untuk menghasilkan tesis dalam bahasa Melayu, namun tiada paksaan. Beberapa buah buku penulis pernah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Penerbit Universiti yang berdaftar dengan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM).\nBuah fikiran penulis khususnya dalam bidang pendidikan turut diterjemahkan ke dalam bentuk penulisan artikel dalam bahasa Melayu yang diterbitkan dalam akhbar arus perdana dan majalah akademik. Pada penghujung tahun 2022, penulis berbesar hati menerima Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu (ATHABM) Tahun 2022 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.\nSuatu anugerah yang tidak pernah terjangkau\u00a0oleh\u00a0fikiran penulis untuk menerimanya. Setinggi-tinggi\u00a0kesyukuran penulis rakamkan dan pastinya hal ini memberikan\u00a0semangat dan motivasi kepada penulis untuk terus menyumbang kepakaran dalam bidang menggunakan bahasa kebangsaan.\nPenulis menulis artikel ini bukan untuk mengupas pembentangan Belanjawan 2023 yang disampaikan oleh YAB\u00a0Perdana Menteri\u00a0(PM), Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini. Mungkin kebanyakan orang tertunggu-tunggu berita gembira yang akan disampaikan oleh PM. Penulis juga tertunggu-tunggu \u201cdurian runtuh\u201d\u00a0yang bakal diterima. Walau bagaimanapun, yang lebih menarik perhatian penulis ialah keindahan dan keunikan istilah dan ungkapan yang digunakan oleh PM\u00a0sepanjang pembentangan tersebut.\nJika ditelusuri perjalanan hidup insan\u00a0yang\u00a0bernama Anwar Ibrahim ini, tidak hairanlah\u00a0jika\u00a0beliau boleh menyusun ungkapan indah, menggunakan istilah bahasa Melayu dengan berseni dan tepat pada tempatnya. Bakat figura hebat ini terserlah seawal dari peringkat sekolah menengah lagi, iaitu di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).\nSemasa di MCKK, beliau aktif dalam Persatuan Bahasa Melayu dan menjadi pemidato\u00a0yang mewakili sekolah. Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu diteruskannya\u00a0pada\u00a0peringkat pendidikan tinggi di Universiti Malaya (UM),\u00a0dengan menyambung pengajian dalam bidang Pengajian Melayu (Sastera). Beliau juga Presiden Persatuan Bahasa Melayu,\u00a0di UM.\nSemasa menjadi Menteri Pendidikan, satu daripada polisi yang diperkenalkannya dalam kurikulum sekolah kebangsaan ialah menukar nama bahasa kebangsaan daripada bahasa Malaysia kepada bahasa Melayu walaupun langkah ini dikritik hebat oleh orang bukan Melayu.\nInsan yang bernama Anwar Ibrahim ini juga mencetuskan penggunaan istilah yang jarang-jarang didengar seperti \u201cMasyarakat Madani\u201c, \u201cGenerasi rabbani\u201c, \u201cwaima\u201c dan \u201cnawaitu\u201c. Coretan kisah sosok hebat ini mungkin hanya cebisan daripada perjalanan hidupnya yang penuh dengan kisah suka dan suka yang ketika itu penulis hanyalah budak hingusan yang masih menuntut ilmu di peringkat sekolah menengah.\nBeliau juga sangat petah apabila berkata-kata. Para sahabat penulis di negara seberang kerap memuji dan menyatakan bahawa betapa rakyat Indonesia kagum dengan insan ini.\nPada tahun 2018, Dato\u2019 Seri Anwar dianugerahkan Doktor Kehormatan (Dr.Hc) dalam bidang Pendidikan Politik oleh Universitas Negeri Padang (UNP), Sumatera Barat, Indonesia. Beliau turut menyampaikan ucapan bersempena dengan penganugerahan ini dalam bahasa Melayu.\nUNP ini sangat dekat di hati penulis. Sudah beberapa kali penulis dijemput sebagai penyampai kuliah tamu di sana dan pastinya penulis turut menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Bahkan dosen (pensyarah) di sana berkolaborasi dengan penulis dalam penyelidikan dan penulisan.\nPada tahun 2018, Dato\u2019 Seri Anwar telah mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V,\u00a0dan telah dibebaskan daripada penjara. Beliau kembali ke Parlimen dalam pilihan raya kecil Port Dickson 2018.\nSebelum menjadi PM Malaysia ke-10, usaha beliau dalam memperjuangkan bahasa Melayu tidak pernah terhenti. Beliau sentiasa tegas dengan pendiriannya dalam usaha mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Dalam ucaptama yang disampaikannya semasa Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Nusantara bersempena dengan Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2019, beliau menegaskan bahawa majlis rasmi kerajaan wajib menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam usaha memartabatkan bahasa itu sebagai bahasa ilmu.\nMenurut beliau, bahasa Melayu dihormati di negara ini sebagai bahasa sastera dan budaya dan turut mempertikaikan sesetengah sidang media oleh pemimpin dan yang dianjurkan kerajaan yang menggunakan\u00a0bahasa yang bercampur aduk.\nSemasa penganjuran Seminar Negara Bangsa: Bahasa Melayu Identiti Negara di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada tahun 2019, Dato\u2019 Seri Anwar turut memuji usaha kerajaan negeri Johor dalam memartabatkan penggunaan bahasa Melayu bagi mendaulatkan bahasa Melayu supaya dapat diguna pakai di semua tempat dan\u00a0menerusi pelbagai peringkat lapisan masyarakat.\nBersempena\u00a0dengan\u00a0Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022\u00a0pula, beliau turut\u00a0menegaskan bahawa Malaysia perlu mempunyai dasar\u00a0yang\u00a0jelas bagi memartabatkan bahasa Melayu dalam usaha mencapai objektif untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua blok ASEAN.\nTanggal 24 November 2022, Dato\u2019 Seri Anwar memberikan\u00a0jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinannya akan meneruskan usaha memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia dalam ucapan sulungnya selepas mengangkat sumpah.\nKemudian,\u00a0istilah \u201ccerakin\u201d\u00a0yang diungkapkan oleh PM\u00a0dalam satu sidang media menjadi fenomena. Lantas rakyat tercari-cari maksud istilah berkenaan daripada pelbagai sumber.\nSemasa mengikuti\u00a0pembentangan Ucapan Belanjawan 2023 yang bertemakan \u201cMembangun Malaysia Madani\u201d, kepelbagaian istilah dan lenggok ayat yang indah\u00a0yang\u00a0diselitkan dalam perbahasan PM.\nAntara bait indah yang \u201cmenangkap\u201d\u00a0perhatian penulis ialah bagaimana PM\u00a0memulakan mukadimahnya\u00a0dengan mengaitkan kisah Nabi Yusuf ketika Raja Al-Aziz, yang merupakan Raja Mesir ketika itu resah akan jangkaan tujuh tahun kegersangan ekonomi.\nKemudian,\u00a0PM terus-menerus menggunakan ungkapan indah yang antaranya membuatkan penulis tercari-cari maknanya. Berseni sungguh bait-bait yang diluahkannya. Antaranya\u00a0termasuklah \u201cDalam kegalauan kini, Persoalan yang harus dibangkitkan\u00a0ialah jumlah yang hidup merempat dan melarat\u201d, \u201cJangan kotori minda rakyat dengan angka-angka yang memukau\u201d, \u201cMembobrok tadbir urus kerajaan\u201d dan \u201cPelbagai ketelanjuran yang memberikan\u00a0dampak buruk\u201d.\nPM\u00a0turut membuka minda rakyat dengan mengutarakan persoalan,\u00a0\u201cApakah \u00a0masa depan negara akan rencat, melonjak atau terpenjara?\u201d dan terus meyakinkan rakyat dengan ungkapan seperti \u201cBerteraskan semangat islah dengan maksud mempaculkan pengarahan baharu lagi segar, lantas membenam purbasangka\u201d, \u201cMenyederhanakan\u00a0kesenjangan\u201d dan \u201cMenopang pertumbuhan ekonomi yang terangkum dan mampan\u201d.\nBarangkali ada segelintir warga Malaysia yang mempertikaikan untuk apalah\u00a0istilah bombastik yang kurang atau tidak difahami digunakan sekiranya rakyat tidak memahaminya. Bukan untuk mempertahankan tindakan PM, namun setelah penulis membaca, mengamati dan meneliti teks pembentangan Belanjawan 2023, ayat-ayat tersebut hanyalah digunakan sebagai mukadimah.\nNamun begitu, hampir keseluruhan teks yang diucapkan\u00a0PM\u00a0menggunakan ayat\u00a0dalam\u00a0bahasa Melayu yang mudah difahami oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Penggunaan istilah dan susunan ayat yang indah ini membangkitkan rasa bangga penulis akan keindahan bahasa Melayu,\u00a0apatah lagi \u00a0disampaikan oleh pemimpin nombor satu negara.\nKetokohan PM\u00a0membuktikan bahawa apa-apa\u00a0yang diperjuangkan bukanlah omong-omong kosong belaka, sebaliknya dijelmakan dalam tindakan dan perbuatan \u00a0sebagai pejuang bahasa Melayu. Semoga hal ini dapat dijadikan teladan dan contoh ikutan oleh rakyat Malaysia,\u00a0terutamanya generasi muda yang perlu sentiasa diingatkan bahawa \u201cHilang bahasa lenyaplah bangsa\u201c.\n\u00a0\n\u00a0\nProf. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah \u2013 Pensyarah di Sekolah Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia." "Subjek Ayat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nMengapakah subjek ayat (1) di bawah ialah \u201cSaya\u201d, manakala subjek ayat (2) pula bukan \u201cSaya\u201d?\nDaripada:\nRodhiah Mohd Jan,\nJuaseh, Negeri Sembilan." "Ada Apa pada Nama Pengangkutan Awam yang Gah di Malaysia?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHari Raya Aidilfitri bakal tiba. Tidak sabar rasanya menanti kunjungan daripada\u00a0sanak saudara untuk menyambut hari lebaran bersama-sama dan menjadikannya hari yang lebih bermakna dari tahun sebelumnya. Persaudaraan yang renggang kembali menjadi rapat dan yang jauh dapat didekatkan menerusi aktiviti ziarah-menziarahi.\nKemeriahan Syawal sudah dapat dirasai kini apabila pada hujung minggu, gedung membeli belah sarat dengan\u00a0orang\u00a0ramai\u00a0yang ingin memilih dan membeli baju raya. Hal ini juga menyebabkan berlakunya kesesakan jalan raya akibat pertambahan pelbagai jenis kenderaan. Oleh itu, banyak orang\u00a0yang menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan untuk melancarkan urusan masing-masing.\nPada 16 Mac 2023, Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan Perkhidmatan MRT2 Laluan Putrajaya di Depoh\u00a0MRT\u00a0Serdang. Perkhidmatan ini dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang kritikal di jalan utama negara.\nTidak dinafikan\u00a0bahawa\u00a0MRT dapat menjimatkan masa khususnya kepada pekerja sektor awam dan swasta mahupun yang bekerja sendiri untuk sampai tepat pada masanya di tempat yang ingin dituju. Pendek kata, semua urusan menjadi mudah dan efisien tanpa perlu menempuh kesesakan jalan raya.\nNamun\u00a0begitu, perkara yang menarik perhatian penulis ialah nama pada MRT sebagai simbol kemajuan pengangkutan awam negara. Apakah\u00a0nama penuh MRT? MRT ialah singkatan bagi\u00a0Mass Rapid Transit,\u00a0iaitu sistem rel yang digunakan untuk membawa penumpang di kawasan bandar dalam kapasiti yang besar.\nMRT juga dikenali dengan nama lain seperti mass transit, subway, underground\u00a0ataupun metro (https://www.mymrt.com.my/ms/awam/mrt-perlu-tahu/#:~:text=Mass%20Rapid%20Transit%20(MRT)%20adalah,%2C%20subway%2C%20underground%20ataupun%20metro).\nDalam bahasa Melayu, MRT dikenali sebagai perkhidmatan Transit Aliran Massa tetapi frasa ini tidak mesra di bibir rakyat Malaysia Madani berbanding dengan MRT. \u00a0Timbul persoalan di sini, mengapakah\u00a0tidak menjenamakan akronim bagi Transit Aliran Massa kepada suatu akronim bahasa Melayu yang mantap?\nTidak dinafikan,\u00a0istilah massa juga adalah pinjaman daripada perkataan bahasa Inggeris, iaitu mass. Justeru itu, perlu dikemukakan suatu cadangan frasa yang mencerminkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia. Misalnya, boleh sahaja menggunakan frasa Transit Aliran Awam dan mengakronimkannya kepada nama yang lebih wajar dan luar biasa.\nSelain MRT, nama lebuh\u00a0raya juga tidak ketinggalan mempopularkan bahasa asing; yang sebenarnya mempunyai nama dalam bahasa Melayu. Antaranya\u00a0termasuklah\u00a0Lebuhraya Kajang Silk atau Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang. Silk dalam bahasa Melayu ialah sutera. Oleh itu,\u00a0mungkin sahaja dapat disebut sebagai Lebuh\u00a0Raya Sutera Kajang.\nBegitu juga dengan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat\u00a0yang popular dengan nama Lebuhraya Sprint yang meliputi tiga bahagian,\u00a0iaitu Kerinchi Link, Damansara Link dan Penchala Link.\nAdalah molek istilah sebegini menggunakan bahasa Melayu yang sesuai dengan jati diri bangsa Malaysia yang dominan.\u00a0Misalnya, perkataan link boleh diubah kepada penghubung jalan.\nBegitu juga dengan nama Lebuhraya Grand Saga,\u00a0yang boleh dicadangkan namanya ditukarkan\u00a0kepada Lebuh\u00a0Raya Saga Hebat atau Lebuh\u00a0Raya Saga Besar atau nama yang sesuai bagi menggantikan istilah grand. Tidak dinafikan, frasa ini janggal didengar pada mulanya tetapi jika selalu disebut akan menjadi alah bisa tegal biasa.\nSelain itu, Terowong\u00a0Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir merupakan sepuluh terowong terbaik dunia. Terowong ini berfungsi sebagai penyelesaian masalah banjir kilat yang sering berlaku di bandar Kuala Lumpur pada suatu masa dahulu. Terowong ini juga merupakan laluan alternatif kepada pengguna dari arah Selatan ke Bandaraya Kuala Lumpur bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas. Pendek kata, terowong ini mempunyai dwifungsi yang sangat bermanfaat dan memberikan\u00a0kesejahteraan kepada rakyat Malaysia.\nNama Terowong\u00a0Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir jarang-jarang\u00a0sekali diketengahkan dan berkemungkinan juga ada yang tidak peduli tentang hal tersebut. Di media elektronik dan cetak juga lebih menekankan nama SMART,\u00a0iaitu Stormwater Management and Road Tunnel.\nHal ini juga berlaku pada papan tanda jalan dan akronim ini juga ditakzimkan sehingga mempunyai nama plaza tol sendiri. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa SMART lebih sinonim dengan minda pengguna berbanding dengan nama Terowong\u00a0Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir.\nAdakah kita sudah mula mengorak langkah ke belakang dan tidak peduli untuk menegakkan bahasa ibunda? Adakah kerana kepanjangan frasa tersebut sehingga boleh membelit lidah yang menyebabkan kita lelah dan akur memperjuangkan bahasa ibunda di tanah air sendiri? Tepuk dada tanya selera.\nNamun begitu, terdapat kemudahan awam yang menjadi kebanggaan Malaysia\u00a0yang\u00a0menggunakan bahasa Melayu. Apabila membacanya dengan sekali imbas, bunyinya seperti bahasa Inggeris kerana akronimnya bergaya ala antarabangsa. Kemudahan awam yang dimaksudkan ialah RapidKL.\nRapidKL ialah singkatan bagi Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Kuala Lumpur, dan menjadi jenama perkhidmatan pengangkutan awam yang tidak asing lagi di Malaysia. Akronim ini tidak janggal dan tidak pelik malahan menarik.\nAkronim ialah kependekan yang terbentuk daripada gabungan huruf-huruf pertama atau suku kata beberapa perkataan yang boleh diujarkan sebagai satu pendekatan (https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=akronim&d=175768&).\nJusteru itu, adalah tidak mustahil untuk mempopularkan frasa atau akronim bahasa Melayu pada aset pengangkutan awam di Malaysia. Dalam hal ini, sikap keterbukaan dan kerjasama semua pihak sangat penting untuk merealisasikannya.\nBagi menyelesaikan masalah penggunaan bahasa asing yang berleluasa dan mampu menenggelamkan bahasa Melayu, pihak bertanggungjawab dalam bidang ini perlu mendapatkan konsultasi daripada ahli bahasa Melayu dan institusi pemegang taruh seperti Dewan Bahasa dan Pustaka,\u00a0untuk membantu memberikan\u00a0cadangan akronim yang sesuai demi menjaga kepentingan bahasa Melayu.\nKeindahan sesebuah negara itu bukan sahaja bergantung pada pelancongan atau yang berbentuk hiburan semata-mata bahkan\u00a0kerana faktor bahasanya. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang indah kerana kandungannya turut mencerminkan adab dan identiti bangsa negara.\nSikap ghairah dan mengambil pendekatan popular untuk meletakkan aset negara dengan frasa bahasa asing yang bukan bahasa ibunda perlu dinyahkan dengan segera. Jangan segan menggunakan frasa dalam bahasa Melayu kerana kita tidak akan kalah kepada sesiapa\u00a0pun dalam memperjuangkan bahasa Melayu. Kita menang kerana orang luar akan dapat belajar bahasa Melayu walaupun dalam versi bunyi yang berbeza namun dapat difahami oleh masyarakat tempatan.\nKita perlu berasa malu apabila terdapat\u00a0pengangkutan awam yang gah tetapi bercirikan bahasa asing di negara Malaysia yang bahasa kebangsaannya ialah bahasa Melayu.\nSalam Ramadan. Kebahagiaan kerana rasa syukur dan kemenangan kerana sentiasa rasa sabar.\nProfesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad \u2212 Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, yang juga Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan." "Bahasa Melayu Menjanakan Minda Kreativiti Peribumi Pelajar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada tahun 2013, dalam rancangan Bicara saluran Televisyen Suria di Singapura, Yang Berbahagia Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan telah menyatakan bahawa apabila ilmu sampai ke dalam benak rakyat, tetapi rakyat tidak menerimanya melalui bahasa mereka sendiri, maka ilmu yang diterima tersebut diselubungi oleh konsep dan pemahaman Barat. Mereka yang menerima ilmu tersebut selalunya menjadi pengguna bagi produk yang dihasilkan oleh masyarakat Barat dan mereka juga gagal menggunakan minda sendiri untuk berfikir.\nOleh itu, proses memandaikan pelajar di seluruh sekolah kebangsaan di Malaysia haruslah menggunakan bahasa Melayu kerana kebanyakan pelajar menggunakan bahasa Melayu untuk memperoleh ilmu, terutamanya yang tinggal di luar bandar dan pedalaman. Melalui penggunaan bahasa Melayu, minda kreativiti peribumi yang dimiliki oleh pelajar dapat menjanakan idea yang mungkin tidak terdapat di tempat lain.\nPemikiran Abdullah Hassan tentang minda kreativiti peribumi sangat bagus untuk dikembangkan, khususnya dalam konteks dunia pendidikan di Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana melalui penerapan konsep minda kreativiti peribumi dalam sesi pembelajaran di sekolah, minda pelajar dapat dirangsang sehingga mampu menjanakan idea luar biasa berasaskan kerangka akal budi dan budaya tempatan.\nKonsep minda kreativiti peribumi dalam konteks dunia pendidikan dapat ditakrifkan sebagai daya fikir pelajar dalam usaha mencipta sesuatu yang baharu melalui proses berfikir aras tinggi. Proses ini berlaku dengan mengintegrasikan unsur kearifan tempatan, kepandaian tempatan dan keilmuan tempatan, serta menyesuaikan hasil ciptaan tersebut dengan budaya tempatan mengikut peredaran masa.\nDalam makalah \u201cPentakrifan Kearifan Tempatan: Suatu Sorotan\u201d, Muhammad Yusri Yusof dan Mohd Anuar Ramli berpendapat bahawa terdapat perbezaan makna bagi kearifan tempatan, kepandaian tempatan dan keilmuan tempatan. Kearifan tempatan merupakan satu set pengetahuan dan amalan yang tersirat hasil akal budi golongan bijaksana tempatan bagi menyelesaikan masalah dan memenuhi keperluan masyarakat tempatan.\nKepandaian tempatan pula merujuk satu set amalan yang bersifat tersurat yang diamalkan oleh sekumpulan golongan bijaksana tempatan bagi memenuhi keperluan masyarakat. Perkara tersebut juga ditakrifkan sebagai kemahiran, tindakan dan perlakuan yang sistematik daripada set ilmu yang tersedia dalam bentuk yang dapat dilihat dengan pandangan mata kasar. Kemahiran ini digunakan bagi menyelesaikan masalah, isu dan kes yang bersifat setempat.\nMenurut Muhammad Yusri Yusof dan Mohd Anuar Ramli lagi, keilmuan tempatan dimaksudkan sebagai satu set ilmu pengetahuan yang dibangunkan oleh golongan bijaksana tempatan bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat. Ruang lingkup keilmuan tempatan merangkumi rangkaian ilmu yang pelbagai. Antaranya termasuklah ilmu perubatan, pertukangan, perbidanan, pertanian, alam sekitar, perlayaran, seni bela diri, nyanyian, masakan, dan perhutanan.\nSelanjutnya, hasil kajian menunjukkan bahawa terdapat enam strategi penerapan konsep minda kreativiti peribumi dalam konteks dunia pendidikan di Malaysia. Pertama, mengekalkan dan memperkukuh penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Melalui strategi ini, pelajar dapat memperoleh ilmu dengan cepatnya, terutamanya pelajar yang berada di luar bandar dan pedalaman. Pelajar ini akan menggunakan bahasa Melayu untuk memahami ilmu dengan lebih jelas dan mendalam. Secara tidak langsung, strategi ini dapat merapatkan jurang pendidikan antara pelajar di bandar dengan pelajar di luar bandar dan pedalaman.\nKedua, menerapkan komponen 3K dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum di sekolah. Melalui strategi ini, komponen kearifan tempatan, kepandaian tempatan dan keilmuan tempatan dapat didedahkan kepada pelajar dalam semua aktiviti pembelajaran yang dilakukan, sama ada aktiviti pembelajaran di dalam kelas atau di luar kelas, seperti aktiviti kokurikulum.\nKetiga, memupuk penghayatan terhadap sejarah, budaya dan sastera kebangsaan. Strategi ini bertujuaan untuk menyuburkan penghayatan pelajar terhadap sejarah, budaya dan sastera kebangsaan pada sepanjang masa. Pelbagai program dan aktiviti yang berkaitan perlu dijalankan pada sepanjang tahun, bukannya sekali setahun pada bulan tertentu.\nKeempat, membanyakkan aktiviti berfikir secara kritis dan kreatif. Pelaksanaan strategi ini sangat penting supaya pelajar sentiasa bersedia dan mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi pada bila-bila masa, sama ada secara berkolaborasi atau secara kendiri. Strategi ini dapat dilaksanakan dalam sesi pembelajaran di dalam atau di luar kelas melalui aktiviti berbentuk penyelesaian masalah, penyiasatan, penerokaan, membuat ramalan, membuat inferens dan sebagainya.\nKelima, membudayakan amalan inovasi dan keusahawanan. Bagi memastikan pelajar mempunyai minda kreativiti peribumi, amalan inovasi dan keusahawan perlu diketengahkan kepada pelajar dari awal alam persekolahan. Amalan inovasi dan keusahawan boleh dijalankan dalam persekitaran sekolah bermula daripada penghasilan produk yang ringkas melalui projek kolaborasi dalam sesuatu mata pelajaran.\nContohnya, dalam pembelajaran Bahasa Melayu, pelajar menghasilkan e-buku sajak. Kemudian, buku ini didaftarkan hak ciptanya di Perbadanan Harta Intelek Malaysia sebelum dijual melalui platform e-dagang. Walaupun kelihatan ringkas, aktiviti seperti ini dapat memberikan pengetahuan dan pengalaman yang banyak kepada pelajar. Pengalaman ini meliputi proses berfikir untuk menjanakan idea, proses perbincangan, proses penghasilan e-buku dan proses penjualan.\nKeenam, meningkatkan literasi TMK dan digital dalam kalangan pelajar. Tidak dapat dinafikan bahawa literasi TMK dan digital sangat diperlukan untuk merangsang pelajar supaya dapat mengoptimumkan daya minda kreativiti peribumi yang dimiliki. Selain itu, pelajar yang cekap memanipulasikan TMK dan digital mampu mengembangkan dan menyesuaikan hasil kreativiti\u00a0 peribumi masing-masing dengan budaya tempatan mengikut peredaran masa.\nSebagai rumusannya, konsep minda kreativiti peribumi sangat penting untuk diterapkan dalam dunia pendidikan di Malaysia. Tunjang utama untuk proses menjanakan minda kreativiti peribumi dalam dunia pendidikan di Malaysia ialah penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Sekiranya tunjang utama ini dikerat, terencatlah proses tersebut. Oleh itu, perjuangan untuk mengekalkan dan memperkukuh penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia perlu diteruskan oleh semua pihak.\n\u00a0\nMuhammad Zuhair Zainal ialah Pensyarah Kanan Pendidikan Bahasa Melayu, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia, yang juga merangkap Presiden Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia." "Antara Rima dengan Rentak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMenurut Kamus Dewan Edisi Keempat\u00a0(2016: 1330 & 1318), kata rima\u00a0bererti \u201cbunyi yang sama pada huruf akhir atau kata akhir sesuatu rangkap (seperti dalam gurindam\u201d, dan kata rentak\u00a0bererti \u201c(muzik) gerakan yang teratur (dalam lagu)\u201d. \u00a0Dalam bahasa Inggeris, kata rima\u00a0sama dengan kata rhyme, dan kata rentak\u00a0sama dengan kata beat.\nPuisi lama seperti gurindam, syair dan pantun digubah dengan menurut skema rima atau persamaan bunyi tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:\nKurang fikir, kurang siasat,\nTentu dirimu kelak tersesat.\u00a0 \u00a0 (Gurindam Beberapa Petua Hidup, Za\u02bbba)\n\u00a0\n\u00a0\nDengarkan tuan suatu hikayat,\nRaja di desa Negeri Kembayat,\nDikarang fakir dijadikan hikayat,\nSupaya menjadi tamsil ibarat. (Syair Bidasari)\n\u00a0\nKalau kita mengkaji Gurindam Beberapa Petua Hidup di atas, kita akan mendapati bahawa terdapatnya rima akhir [at] yang sama di hujung kedua-dua baris. Jika kita meneliti Syair Bidasari\u00a0di atas, kita mendapati adanya skema rima akhir yang sama, iaitu a-a-a-a ([at]-[at]-[at]-[at]).\nGendang gendut tali kecapi,\nKenyang perut\u00a0senang hati.\n\u00a0\nPisang emas dibawa belayar,\nMasak sebiji di atas peti;\nHutang emas\u00a0boleh dibayar,\nHutang budi\u00a0dibawa mati.\n\u00a0\nJika kita meneliti pantun dua kerat dan empat kerat di atas, kita akan mendapati bahawa adanya persamaan rima akhir [i] pada baris pantun dua kerat dan skema rima akhir a-b-a-b ([ar]-[i]-[ar]-[i]) pada baris pantun empat kerat. Tambahan pula, terdapat rima tengah yang sama [ut] pada baris pantun dua kerat, dan persamaan bunyi rima tengah [as] dan [i] pada pantun empat kerat tersebut. Oleh itu, kata rima atau rhyme\u00a0merujuk persamaan bunyi dalam hal yang kita ujarkan.\nRentak (beat) muzik merupakan unit bunyi yang paling ringkas. Rentak itu ialah rentak yang didengari dan diikuti ketika mendengar sesuatu karya muzik atau ketika mengira tempo ketika memainkan sesuatu alat muzik.\nTempo ialah kelajuan sesuatu karya muzik dimainkan, iaitu kelajuan yang dikira mengikut rentak setiap minit (Beat Per Minute, BPM). Ringkasnya, rentak berkaitan dengan laju lambat sejumlah bunyi yang kita ujarkan, dan tidak ada kaitan dengan persamaan bunyi.\nDi dunia Barat kini, ada sekumpulan penghibur yang dinamai sebagai beatboxer\u00a0atau perentak muzik. Kumpulan pemuzik ini menarik minat peminatnya bukan dengan kemerduan suara atau bunyi kata lagu yang sama, tetapi dengan cara melepaskan bunyi nafas mengikut rentak yang kreatif dan pelbagai, iaitu ada kalanya cepat, kuat dan rancak, dan ada kalanya lambat dan perlahan. Kombinasi rentak bunyi yang pelbagai menampilkan persembahan yang menarik kerana menyerupai rentak muzik sesuatu lagu.\nDalam bidang perubatan, terdapat alat perentak\u00a0(pacemaker) yang dipasang pada jantung pesakit jantung agar jantung mereka akan berdegup mengikut rentak laju lambat degupan yang biasa atau kadar degupan yang dikehendaki.\nSebagai rumusannya, kata rima\u00a0atau rhyme\u00a0berkaitan dengan persamaan bunyi, termasuk bunyi vokal atau vokal dengan konsonan mengikut skema tertentu. Sebaliknya kata rentak\u00a0atau beat\u00a0berkaitan dengan laju lambat sesuatu perkara diujarkan atau disampaikan, dan tidak ada kaitan dengan apa-apa persamaan bunyi.\nWalau bagaimanapun, kita mendapati bahawa ada kata ganda dalam bahasa Melayu yang dinamai sebagai kata ganda berentak, sedangkan yang dimaksudkan ialah persamaan rima antara kata dasar dengan gandaannya, bukan laju lambat ujaran kata dasar atau gandaannya tersebut. Hal ini jelas bagi kata ganda berentak pengulangan bunyi vokal (termasuk bunyi diftong) atau pengulangan bunyi konsonan. \u00a0Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n\u00a0\nKata nama ganda berentak pengulangan bunyi vokal\nsayur-mayur: \u00a0 persamaan bunyi vokal [a] dan [u]\nkuih-muih: persamaan bunyi vokal [u] dan [i]\n\u00a0\nKata nama ganda berentak pengulangan bunyi konsonan\nbatu-batan: persamaan bunyi konsonan [b] dan [t]\ngunung-ganang: persamaan bunyi konsonan [g], [n] dan [ng]\n\u00a0\nKata kerja ganda berentak pengulangan bunyi vokal\nselit- belit: persamaan bunyi vokal [e] dan [i]\ncerai-berai: persamaan bunyi vokal [e] dan bunyi diftong [ai]\n\u00a0\nKata kerja ganda berentak pengulangan bunyi konsonan\nbolak-balik: persamaan bunyi konsonan [b], [l] dan hentian glotis\nhuyung-hayang: persamaan bunyi konsonan [h], [y] dan [ng]\n\u00a0\nKata adjektif ganda berentak pengulangan bunyi vokal\nhiruk-pikuk: persamaan bunyi vokal [i] dan [u]\n\u00a0\nKata adjektif ganda berentak pengulangan bunyi konsonan\nkucar-kacir: persamaan bunyi konsonan [k] dan [c]\nporak-peranda: persamaan bunyi konsonan [p] dan [r]\n\u00a0\nBerdasarkan segala contoh kata ganda berentak pengulangan bunyi vokal dan bunyi konsonan yang meliputi kata nama, kata kerja dan kata adjektif di atas, ternyatalah bahawa yang dimaksudkan sebagai kata ganda berentak\u00a0sebenarnya merupakan kata ganda berima. Hal ini dikatakan demikian kerana yang sama bagi kata-kata tersebut bukannya persamaan rentak\u00a0(beat), tetapi persamaan rima\u00a0(rhyme)." "ChatGPT dan Penipuan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nUniversiti dan sekolah telah memasuki fasa baharu dalam usaha\u00a0menangani integriti akademik ketika masyarakat mengharungi era kedua teknologi digital, termasuklah kecerdasan buatan (Artificial Intelligence \u2013 AI) generatif yang tersedia secara umum seperti Generative Pre-trained Transformer \u00a0atau lebih dikenali sebagai ChatGPT. Platform sedemikian membolehkan pelajar menjanakan\u00a0teks novel untuk tugasan bertulis.\nWalaupun banyak orang\u00a0yang bimbang\u00a0akan\u00a0teknologi AI termaju ini membawa kepada zaman baharu plagiarisme dan penipuan, teknologi ini juga memperkenalkan peluang kepada pendidik untuk memikirkan semula amalan pentaksiran dan melibatkan pelajar dalam pembelajaran yang lebih mendalam dan bermakna yang boleh menggalakkan kemahiran berfikir kritis.\nKemunculan ChatGPT dipercayai dapat mewujudkan peluang kepada sekolah dan institusi pascamenengah untuk memperbaharui pendekatan tradisional bagi mentaksir pelajar yang banyak bergantung kepada ujian dan tugasan bertulis yang tertumpu pada ingatan pelajar, mengulang kembali dan sintesis asas kandungan.\nMenipu dan ChatGPT\nAnggaran penipuan berbeza-beza merentasi konteks dan sektor negara. Sarah Elaine Eaton, pakar yang mengkaji integriti akademik\u00a0mengingatkan bahawa penipuan mungkin kurang dilaporkan. Beliau menganggarkan bahawa di Universiti Kanada, sebanyak 70\u00a0000 pelajar\u00a0membeli perkhidmatan menipu\u00a0pada\u00a0setiap tahun.\nPelancaran ChatGPT oleh OpenAI baru-baru ini akan memberikan\u00a0kesan kepada penipuan dalam tetapan pendidikan wajib dan tinggi adalah tidak diketahui tetapi bagaimana\u00a0amalan penipuan\u00a0ini berkembang mungkin bergantung \u00a0kepada\u00a0institusi sama ada mahu mengekalkan atau memperbaharui amalan penilaian pentaksiran tradisional ataupun\u00a0tidak.\nMengelak Perisian Pengesanan Plagiarisme?\nKeupayaan alat pengesan plagiarisme yang popular untuk mengenal pasti penipuan dengan menggunakan ChatGPT untuk menjanakan\u00a0tugasan masih menjadi cabaran.\u00a0Kajian yang dijalankan baru-baru ini\u00a0yang belum disemak rakan sebaya mendapati bahawa sebanyak 50 esei yang dihasilkan menggunakan ChatGPT menghasilkan teks canggih yang dapat mengelak perisian semakan plagiarisme tradisional.\nMemandangkan ChatGPT mencapai anggaran 100 juta pengguna aktif bulanan\u00a0pada bulan Januari, hanya dua bulan selepas pelancarannya\u00a0barulah\u00a0dapat difahami mengapa sesetengah pihak berpendapat bahawa aplikasi AI seperti ChatGPT akan mendorong perubahan besar\u00a0dalam persekolahan kontemporari.\nRespons Dasar terhadap AI dan ChatGPT\nTidak menghairankan\u00a0apabila\u00a0terdapat pandangan yang bertentangan tentang cara membalas ChatGPT dan model bahasa AI yang lain.\u00a0Ada segelintir yang berpendapat bahawa pendidik harus menerima AI sebagai alat teknologi yang berharga dengan syarat aplikasi dipetik dengan betul.\nYang lain-lain pula\u00a0percaya\u00a0bahawa\u00a0lebih banyak sumber dan latihan\u00a0diperlukan supaya pendidik lebih mampu menangkap contoh penipuan. Jabatan Pendidikan New York City\u00a0sebagai contoh, telah menyekat aplikasi AI seperti ChatGPT daripada peranti dan rangkaian.\nPentaksiran Pemikiran ke Hadapan\nRajah di bawah menggambarkan tiga elemen kritikal sistem pentaksiran pemikiran ke hadapan. Walaupun setiap elemen boleh dihuraikan, tumpuan adalah dalam menawarkan pendidik satu siri strategi yang akan membolehkan mereka mengekalkan standard akademik dan menggalakkan pembelajaran dan pentaksiran tulen dalam menghadapi aplikasi AI semasa dan akan datang.\n\u00a0\n\u00a0\nGuru dan profesor universiti juga telah bergantung banyak kepada tugasan esei \u201csatu dan selesai\u201c selama beberapa dekad. Pada asasnya, pelajar ditugaskan atau diminta untuk memilih topik esei generik daripada senarai dan menyerahkan tugasan akhir mereka pada tarikh tertentu.\nTugasan sedemikian sangat terdedah kepada aplikasi AI baharu, serta penipuan kontrak \u2013\u00a0iaitu\u00a0pelajar membeli esei yang telah siap. Para pendidik kini perlu memikirkan semula tugasan tersebut. Yang berikut adalah beberapa strategi\u00a0yang berkaitan perkara tersebut.\n* Tidak berguna atau praktikal untuk institusi melarang langsung AI dan aplikasi seperti ChatGPT.\u00a0AI telah pun dimasukkan ke dalam beberapa bilik kuliah di\u00a0universiti. Teknologi AI dipercayai mestilah\u00a0disepadukan secara terpilih supaya pelajar dapat merenung penggunaan yang sesuai dan menghubungkan refleksi mereka kepada kecekapan pembelajaran.\n* Sebagai contoh, Paul Fyfe, seorang professor Bahasa Inggeris yang mengajar tentang cara manusia berinteraksi dengan data\u00a0menerangkan \u201cpercubaan pedagogi\u201c, iaitu beliau\u00a0memerlukan pelajar mengambil kandungan daripada perisian AI untuk penjanaan teks dan menganyam kandungan ini\u00a0dalam esei akhir mereka.\n* Pelajar kemudiannya diminta untuk menghadapi ketersediaan AI sebagai alat penulisan dan merenung tentang penggunaan etika dan penilaian mod bahasa.\n* Memastikan pelajar memahami cara mereka akan digredkan adalah kunci kepada mana-mana sistem penilaian dan pentaksiran yang baik.\n* Menjemput pelajar untuk bekerjasama mewujudkan matlamat dan kriteria pembelajaran untuk tugasan dengan mengambil kira peranan perisian AI akan membantu pelajar menilai dan mentaksir konteks yang sesuai, iaitu\u00a0AI boleh berfungsi sebagai alat pembelajaran.\n* Walaupun pelajar masih perlu menyelesaikan tugasan esei, penyelidikan tentang dasar integriti akademik sebagai tindak balas kepada AI generatif mencadangkan agar pelajar perlu menyerahkan draf kerja mereka untuk semakan\u00a0dan maklum balas. Selain membantu mengesan plagiarisme, amalan \u201cpenilaian formatif\u201c seperti ini positif untuk membimbing pembelajaran pelajar.\n* Maklum balas boleh diberi oleh guru atau pelajar sendiri. Maklum balas rakan sebaya dan kendiri juga boleh berfungsi untuk menilai secara kritis kerja yang sedang dijalankan (atau kerja yang dihasilkan oleh perisian AI).\n* Pelajar boleh menerima gred untuk setiap subkomponen,\u00a0termasuklah\u00a0penglibatan mereka dalam proses maklum balas. Mereka juga akan dinilai berhubung dengan sejauh mana mereka menggabungkan dan menerima maklum balas khusus yang diberikan.\n* Tugasan menjadi lebih besar daripada esei akhir\u00a0\u2013\u00a0menjadi produk pembelajaran, iaitu\u00a0idea pelajar dinilai daripada\u00a0pembangunan hingga penyerahan akhir.\n* Amalan pentaksiran yang baik melibatkan pendidik yang memerhati pembelajaran pelajar merentasi pelbagai konteks.\u00a0Sebagai contoh, pendidik boleh menjemput pelajar untuk membentangkan hasil kerja mereka, membincangkan esei dalam format persidangan atau berkongsi artikulasi video atau perwakilan artistik. Matlamat di sini adalah untuk menggalakkan pelajar berkongsi pembelajaran mereka melalui format alternatif. Soalan penting untuk ditanya \u2013\u00a0adakah anda memerlukan komponen esei sama sekali? Adakah terdapat cara yang lebih sahih untuk menilai pembelajaran pelajar dengan berkesan?\nPentaksiran autentik ialah penilaian yang mengaitkan kandungan dengan konteks. Apabila pelajar diminta melakukan cara ini, mereka mesti menggunakan pengetahuan dalam tetapan yang lebih praktikal\u00a0dan\u00a0selalunya menjadikan alatan AI kurang membantu.\nUntuk bantuan dalam memikirkan semula amalan pentaksiran ke arah pendekatan yang lebih tulen dan alternatif, pendidik boleh mempertimbangkan untuk mengambil kursus percuma\u00a0seperti\u00a0Transforming Assessment: Strategies for Higher Education.\nMeningkatkan Faedah untuk Pelajar\nSecara kolektif, cadangan ini mungkin lebih memakan masa, terutamanya dalam kelas pengajian sarjana yang lebih besar.\u00a0Namun begitu,\u00a0mereka memberikan pembelajaran dan sinergi yang lebih besar antara bentuk pentaksiran\u00a0yang memberikan\u00a0manfaat kepada pelajar: penilaian formatif untuk membimbing pengajaran dan pembelajaran, dan \u201cpentaksiran sumatif,\u201c yang digunakan terutamanya untuk tujuan penggredan dan penilaian.\nAI berada di sini dan di sini untuk kekal dan kita mesti menerimanya sebagai sebahagian daripada persekitaran pembelajaran. Menggabungkan AI ke dalam cara guru\u00a0mentaksir pembelajaran pelajar akan menghasilkan proses pentaksiran yang lebih dipercayai dan hasil pentaksiran yang sah dan bernilai." "Hukuman Denda Jika Menggunakan Kata Kesat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSINGAPURA \u2212 Pasukan Polis Singapura (SPF) sedang menyiasat empat orang yang didakwa berkelakuan kasar terhadap para pegawai penguat kuasa dan duta jarak selamat selain tidak mematuhi langkah keselamatan COVID-19.\nSemua kesalahan tersebut dilakukan dalam insiden berasingan, iaitu di pusat beli-belah Bedok Mall, 10 Kallang Road dan di pasar dan pusat makanan Albert Centre. SPF turut menyatakan bahawa siasatan ke atas semua insiden itu sedang dijalankan.\nDalam satu kenyataan yang dikeluarkan, keempat-empat orang yang disiasat itu didakwa menyebabkan kecederaan dengan sengaja, menggunakan kekerasan jenayah, sengaja mencetuskan rasa cemas, melanggar langkah-langkah jarak selamat dan melemparkan kata-kata kesat kepada kakitangan awam.\nIndividu yang disabitkan kesalahan yang menyebabkan gangguan awam itu boleh didenda sehingga S$2000. Bagi sesiapa yang didapati bersalah menggunakan bahasa kesat terhadap seorang penjawat awam juga boleh didenda tidak melebihi S$5000, dipenjarakan sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali.\nBagi kesalahan lain, individu yang didapati bersalah menyebabkan kecederaan dengan sengaja boleh dipenjarakan sehingga tiga tahun, didenda tidak melebihi S$5000 atau kedua-duanya sekali. Individu yang menggunakan kekerasan jenayah pula boleh dikenakan hukuman penjara tiga bulan, denda sehingga S$1500 atau kedua-duanya sekali.\nBagi kesalahan sengaja menyebabkan rasa cemas, individu itu boleh dipenjarakan sehingga enam bulan, didenda sehingga S$5000 atau kedua-duanya sekali. Jika disabitkan kesalahan gagal memakai pelitup atau tidak memakainya dengan betul ketika berada di luar rumah, individu boleh dipenjarakan sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10 000 atau kedua-duanya sekali." "Buku Mencanai Bahasa Mempertajam Penggunaan Bahasa Melayu secara Gramatis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 BERNAMA Radio menerusi siri rancangan Cakna Bahasa telah menampilkan Encik Mohd Januri Ayub yang juga merupakan Munsyi Dewan, pengajar dan penulis buku yang bertajuk Mencanai Bahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau menjadi tetamu undangan dalam siri rancangan tersebut bagi mengupas bukunya itu.\nMenurut beliau, \u201cmencanai bahasa\u201c merupakan satu tindakan yang merujuk tindakan mempertajam dan membina pengetahuan tentang bahasa Melayu. Tujuan penghasilan buku tersebut adalah untuk membantu mempertingkatkan pemahaman pengguna bahasa Melayu dan membantu pengguna menggunakan bahasa secara gramatis.\nBeliau turut menjelaskan bahawa penggunaan bahasa secara gramatis merujuk penggunaan bahasa secara tepat yang sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.\nDalam buku ini, saya telah memulakan bab dengan memperkenalkan konsep-konsep penting dalam bahasa Melayu dengan harapan apabila memahami konsep-konsep penting ini, penggunaan yang betul dapat dilaksanakan dan diaplikasikan dari segi tatabahasa dan ejaan.\nJelasnya lagi, dalam konteks buku ini, konsep bahasa yang ingin dibincangkan merangkumi hierarki yang membina bahasa. Walau bagaimanapun, buku ini tidaklah secara spesifik menjelaskan setiap konsep struktur tersebut. Terangnya lagi,\nUntuk memudahkan pemahaman pembaca tentang konsep dalam buku ini, perbincangan tertumpu kepada perbandingan antara konsep.\nAntara perbandingan yang dibincangkan dalam buku tersebut termasuklah perbandingan antara morfem dengan kata, perbandingan akar kata, kata tunggal dan kata dasar, perbandingan huruf akronim dengan huruf ringkas, perbandingan kata ganda penuh, kata ganda asal dan kata ganda semu, dan perbandingan wacana dengan penanda wacana.\nKonsep-konsep tersebut akan memudahkan pengguna bahasa Melayu menggunakan bahasa Melayu dengan tepat." "Impak AI dalam Bidang Kejurubahasaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kejurubahasaan merupakan perbuatan menterjemahkan sesuatu bahasa kepada bahasa lain dengan lisan dan tulisan melalui kaedah secara serentak atau berturut-turut yang telah sekian lama dilakukan oleh manusia. Walau bagaimanapun, dengan kecanggihan teknologi kini telah wujudnya Artificial Intelligence (AI) yang mampu melaksanakan tugasan tersebut.\nBagi mengupas lanjut tentang pengaruh dan impak AI terhadap kejurubahasaan, Institut Terjemahan Bahasa Melayu (ITBM) telah menjemput dua orang ahli panel untuk Program Wawancara Layar Putih ITBM pada 7 April 2023.\nJurubahasa Profesional ITBM, Encik Bashir Basalamah sebagai panel pertama membuka bicaranya dengan menyatakan bahawa AI dalam bidang penterjemahan sebenarnya telah lama wujud dan Google Translate diambil sebagai contohnya.\nSemasa pra-COVID, sebenarnya sudah ada sistem daripada ucapan kepada teks dalam satu forum yang berlangsung di Shanghai. Jika diambil selangkah ke hadapan, berkemungkinan telah atau akan wujud interpretasi daripada sari kata atau teks kepada ucapan.\nBeliau berkata, interpretasi bukan semata-mata perkataan tetapi membabitkan gerak tangan dan air muka dan tidak dapat dibayangkan bagaimana AI mampu menangkapnya dan menterjemahkannya dengan tepat sebagaimana yang dilakukan oleh manusia.\nTambahnya, AI sebenarnya akan terus berkembang tetapi sebenarnya agak sukar bagi AI menginterpretasikan gerak tangan dan air muka.\nCabaran jurubahasa untuk hilang pekerjaan bukan hanya disebabkan mesin seperti AI semata-mata tetapi oleh faktor lain seperti kurangnya peruntukan. Sebenarnya seorang jurubahasa tidak perlu khuatir kerana mesin akan membantu mengembangkan bidang jurubahasa.\nMenurutnya lagi, teknologi ialah sahabat penterjemah dan jurubahasa dan seseorang itu perlu membuka minda serta bersedia mengikuti perkembangannya.\nSementara itu, ahli panel kedua yang juga Jurubahasa Profesional ITBM, Encik Ahmad Najib Ariffin pula mendefinisikan AI sebagai kecerdikan tiruan yang manusia masukkan kecerdikan mereka ke dalam mesin atau teknologi kerana mesin tidak mempunyai kecerdikan induknya sendiri.\nContoh yang paling mudah boleh dilihat adalah melalui terjemahan Google Translate yang ada kalanya boleh membuatkan kita tertawa apabila membaca terjemahannya kerana tidak mempunyai kecerdikan induk untuk menyesuaikan perkataan.\nTambah beliau, AI agak kurang sesuai digunakan untuk bidang dan perkara yang penting seperti undang-undang dan akademik.\nKatanya lagi, AI juga masih belum memberikan sentuhan manusia kepada hasilnya terutamanya yang melibatkan simpati dan empati.\nMenurut beliau, selagi ada orang yang boleh pelanggan harapkan, meraka akan menggunakan manusia tetapi jika tiada barulah mereka akan beralih kepada teknologi seperti AI kerana sebenarnya tiada mesin yang boleh menandingi otak manusia.\nProgram ini boleh ditonton secara dalam talian melalui laman media sosial Facebook ITBM, https://www.facebook.com/rakanITBM/videos/5866114596847457." "Demi Keselamatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKeselamatan, kesihatan dan kesejahteraan merupakan rahmat yang tidak terhingga bagi seseorang manusia. Nilainya melampaui nilai kebendaan seperti wang ringgit dan harta benda. Oleh itu, wujudlah sejumlah kata dan istilah yang berkaitan dengan penjagaan keselamatan manusia.\nUntuk menjaga keselamatan dalam hal penggunaan kenderaan, terdapat istilah seperti topi keledar (safety helmet), tali pinggang keledar/keselamatan (safety belt), beg keselamatan (air bag), kerusi keselamatan kanak-kanak (child safety seat/child restraint system), dan sebagainya.\nUntuk menjaga keselamatan penghuni rumah atau premis perniagaan daripada pencerobohan oleh orang jahat, terdapat penggera kecurian (burglar\u00a0alarm), sistem televisyen litar tertutup (close circuit televisyen, CCTV), jeriji atau kekisi (grille), mangga (padlock), kunci gabungan (combination lock), pengimbas retina (retina\u00a0scanner), pengimbas cap jari (finger\u00a0print\u00a0scanner), pengimbas muka (facial\u00a0recognition\u00a0system), dan sebagainya.\nBagi melindungi bangunan daripada bahaya kebakaran, terdapat sistem seperti penggera kebakaran (fire\u00a0alarm), pengesan\u00a0asap\u00a0(smoke detector), sistem penyembur air (water sprinkler system), pintu rintangan api (fire door), pintu perintang api (fire resisting door), dan sebagainya.\nSelain itu, kita diingatkan agar menjauhi bahan mudah bakar (flammable substance) dan bahan mudah terbakar (inflammable\u00a0substance) memastikan injap keselamatan (safety valve) pada tangki gas berfungsi dan kita harus tahu menggunakan alat pemadam api (fire extinguisher) yang pelbagai.\nDi tepi jalan pula, sudah sedia terpasang pili bomba (fire hydrants) untuk kegunaan para ahli pasukan bomba dan penyelamat (fire and rescue squad). Demi keselamatan semua, latihan kebakaran (fire drills) dijalankan agar staf dan murid sekolah serta penghuni bangunan tahu tentang prosedur untuk mengosongkan bangunan mengikut laluan yang selamat.\nBagi golongan kelainan upaya (physically challenged people), terdapat kemudahan khas untuk kegunaan mereka. Sebagai contoh, terdapat tandas OKU (toilets for the disabled) yang dilengkapi susur tangan (hand rail) dan ruang yang lebih besar. Ada kereta roda (wheelchair) atau kereta roda elektrik (electric\u00a0wheelchair) untuk memudahkan mereka bergerak. Tanjakan condong (inclined ramp) atau lif khas juga disediakan untuk membolehkan mereka memasuki bangunan atau naik ke tingkat yang lebih tinggi.\nBagi mereka yang menggemari sukan lasak atau aktiviti yang mencabar, seperti luncur keluang (flying fox/zipline), terjun lelabah (bungee jumping), melalui laluan kanopi (canopy walk), dan sebagainya, abah-abah keselamatan (safety\u00a0harness) mungkin perlu dipasang untuk menjaga keselamatan mereka. Begitu jugalah halnya bagi mereka yang bekerja di puncak bangunan tinggi, menara, dan sebagainya.\nBagi mereka yang menceburi sukan air, alat penjagaan keselamatan mereka termasuk jaket keselamatan (life jackets), pelampung (floats), bot penyelamat (life boats), dan sebagainya. Selain itu, terdapat anggota penyelamat (lifeguard) yang bertugas di kolam renang dan pantai tertentu untuk menjaga keselamatan semua yang terlibat.\nBagaimanakah pula dengan personel yang menjaga keselamatan kita? Bagi keselamatan awam, polis, polis marin (marine police), polis bantuan (auxillary police)\u00a0\u00a0dan mata-mata gelap (detectives) sedia menjalankan siasatan, penangkapan dan kawalan.\nBagi pertahanan negara, kita ada tentera udara (airforce), tentera darat (army) dan tentera laut (navy). Selain itu, kita ada pengawal pantai (coast guard) dan pengawal sempadan (border patrols) untuk menjaga perairan dan sempadan negara. Bagi pertubuhan dan orang persendirian, ada pula personel kawalan keselamatan seperti pengawal keselamatan (security guard), pengawal peribadi (bodyguard), dan sebagainya.\nDi lapangan terbang, bagi memastikan tiada sesiapa membawa masuk atau menyeludup peralatan dan barangan yang berbahaya, pemeriksaan dijalankan secara fizikal atau dengan menggunakan mesin pengimbas. Pemeriksaan fizikal termasuk pemeriksaan tepuk (pat down search), pemeriksaan tanggal (strip search), pemeriksaan intrusif (intrusive search) dan pemeriksaan dalaman (intimate search). Mesin pengimbas pula termasuk pengimbas seluruh badan\u00a0(full body scanner), pengesan logam (metal detector), pengimbas bagasi (baggage scanner) dan sebagainya.\nUntuk memastikan juruwang tidak tersilap menerima wang palsu, pihak bank dan premis perniagaan menggunakan pelbagai pengimbas seperti pengimbas cahaya/lampu belakang (backlight scanner), pengimbas cahaya ultraungu (UV scanner), dan sebagainya.\nBagi mengelakkan komputer atau telefon bimbit digodam oleh penjahat, kita digalakkan untuk menggunakan kata laluan (password), dan nombor pengenalan peribadi (personal identification number, PIN) yang selamat. Selain itu,\u00a0terdapat pelbagai aplikasi (software) antivirus yang dapat melindungi komputer kita daripada dirosakkan atau diceroboh oleh pihak yang berniat jahat.\nApakah gunanya kita mengetahui pelbagai kata atau istilah tentang penjagaan keselamatan kita? Pertamanya, dengan mengenali hal sedemikian, pengetahuan kita tentang isu semasa dan kosa kata yang terkini bertambah. Hal ini membolehkan kita untuk menghasilkan karangan atau bahan penulisan dengan kata dan istilah yang lebih tepat. Secara tidak langsung, hal ini menampilkan profesionalisme serta kewibawaan penulis dan menarik minat pihak yang berkenaan.\nSelain itu, kita dapat mendalami tatacara peminjaman dan penterjemahan kata atau konsep asing, dan tatacara pembentukan istilah yang terkini. Seterusnya, kita dapat mempelajari cara penggunaan kata dan istilah tersebut secara tepat dalam ayat yang kita ujarkan atau tulis. Hal ini dikatakan demikian kerana penggunaan kata atau istilah yang salah pasti akan menjejaskan kelancaran komunikasi dan menimbulkan salah faham antara mereka yang berlawan cakap.\nDisebabkan saban hari berlaku pertembungan antara bahasa Melayu dengan pelbagai bahasa di dunia, dan adanya limpahan ilmu yang mencurah-curah masuk ke negara kita, kita tidak ada pilihan melainkan sentiasa membuka mata dan memasang telinga untuk menangkap angin perubahan yang tidak habis-habis berpuput. Dengan itu, barulah bahasa dan kosa kata yang kita gunakan sentiasa segar, tepat dan menarik." "Penulisan Makalah Popular Mengangkat Martabat Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Sesuatu penulisan dalam bahasa Melayu terutamanya yang berbentuk digital mampu mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kerana cirinya yang boleh diakses tanpa sempadan. Dalam usaha untuk menyebarluaskan peluang dan ruang penulisan yang ada kepada masyarakat, Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan wacana bahasa yang bertajuk \u201cJendela DBP: Ingin Menulis Makalah Popular?\u201d pada pukul 9.30 pagi tadi bersama-sama dua orang tetamu undangan, iaitu Ketua Pengarah DBP, YBhg. Dr. Hazami Jahari dan Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar. Moderator wacana ialah YBrs. Dr. Haji Aswandi Haji Laman, iaitu Ketua Jabatan Kepimpinan Bahasa dan Komunikasi\u00a0 (JKBK), IAB Cawangan Sarawak.\nPengarah IAB Cawangan Sarawak, Tuan Haji Edmund Shah Thambi dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa pihaknya sekali lagi mengundang pihak DBP untuk berkongsi maklumat berkaitan dengan portal JendelaDBP pada tahun ini kerana sambutan yang diterima cukup menggalakkan daripada para pelayar pada tahun lepas.\nPerkongsian ilmu daripada dua tetamu hebat yang diundang dalam wacana ini boleh membantu khalayak untuk lebih memahami cara menghasilkan karya yang boleh diterbitkan.\nTambahnya, ilmu yang diperoleh daripada wacana ini juga mampu meningkatkan kemahiran penulisan kreatif dan bukan kreatif para pelayar terutamanya dalam kalangan warga pendidik.\nKetua Pengarah DBP, YBhg. Dr. Hazami Jahari dalam ucapannya berkata bahawa enam teras penubuhan DBP adalah untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi serta memperkembang bakat sastera dalam bahasa kebangsaan bagi membina ketamadunan bangsa dan negara.\nTambahnya lagi, misi besar DBP adalah untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dunia dengan kata keramatnya, \u201cBahasa Jiwa Bangsa\u201d. Jelas beliau:\nPemerkasaan bahasa kebangsaan mesti dilaksanakan melalui institusi pendidikan dan pihaknya akan mempertingkatkan dan memperteguhkan lagi sinergi pelibatan dalam kalangan institusi KPM bagi memartabatkan bahasa kebangsaan.\nBeliau turut berkata bahawa tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan guru bukan opsyen Bahasa Melayu adalah baik dari aspek kemahiran mendengar dan bertutur dan perlu dipertingkatkan dari aspek kemahiran menulis. Oleh itu, dalam usaha meningkatkan pengkaryaan, beliau mengajak guru menyerlahkan bakat mereka menerusi penulisan makalah popular kerana DBP menyediakan ruang dan peluang kepada masyarakat untuk melatih kemahiran menulis dalam pelbagai bidang melalui majalah bercetak dan portal JendelaDBP.\nMengakhiri bicaranya, YBhg. Dr. Hazami berkata bahawa pembentangan Belanjawan 2023 juga menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta kepada DBP, Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) dan Yayasan Karyawan bagi meningkatkan bidang penerbitan yang bertujuan untuk memperkasakan bahasa kebangsaan dan memandaikan bangsa Malaysia khususnya dalam bidang politik dan falsafah.\nDalam perkongsian berkaitan dengan penulisan makalah popular, YBrs. Dr. Rosmani Omar berkata bahawa gagasan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPM) yang ingin melahirkan Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC) boleh direalisasikan melalui pembacaan.\nDalam konteks pendidikan, bahan bacaan perlu diperkasakan dengan menerbitkan bahan bacaan yang berkualiti dan sekurang-kurangnya satu peratus bahan bacaan perlu diterbitkan daripada jumlah penduduk di negara ini.\nKatanya lagi, selain bahan penerbitan secara bercetak, DBP juga menyediakan bahan bacaan digital kepada khalayak masyarakat dengan pembangunan portal JendelaDBP pada tahun 2021.\nPembangunan JendelaDBP yang mengambil masa lebih kurang empat bulan adalah untuk menyebarluaskan bahan terbitan digital DBP kepada masyarakat agar bahasa Melayu dapat diantarabangsakan dan hingga kini portal ini telah diakses oleh hampir 30 juta pelayar dari 146 buah negara.\nTambahnya lagi, penerbitan secara digital membolehkan pihak DBP mengenal pasti jenis artikel atau makalah yang mendapat tempat di hati para pembaca melalui Google Analytics.\nBeliau juga berkata bahawa empat buah majalah yang paling diminati oleh masyarakat di portal JendelaDBP ialah Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Dewan Budaya.\nTerdapat lapan jenis majalah digital yang ada di portal JendelaDBP berbanding dengan\u00a0 11 majalah secara bercetak.\nDalam mengajak guru berkarya, beliau turut berkongsi lapan panduan untuk menghasilkan penulisan makalah popular yang baik, iaitu tajuk yang menarik, fakta yang jelas, maklumat yang padat, kandungan yang objektif, penyampaian idea secara langsung, garapan penulisan yang mudah difahami, penggunaan bahasa yang pelbagai seperti metafora dan perumpamaan serta kesimpulan yang menarik.\nTambahnya lagi, penulis juga perlu mengetahui sebab dan alasan penulisannya tidak terpilih untuk disiarkan agar boleh ditambah baik pada masa hadapan. Antara sebab sesuatu artikel itu ditolak kerana tidak mempunyai tema yang menarik, karya yang mengandungi unsur negatif, sensitif dan subversif, kandungan tidak berfokus dan terlalu banyak kesalahan bahasa, maklumat peribadi penulis tidak lengkap, karya dihantar dalam bentuk salinan fotokopi, karya yang dihantar pernah diterbitkan sama ada dalam bentuk bercetak ataupun elektronik dan perkara yang paling utama sekali ialah karya ciplak. Jelas beliau:\nBagi yang berminat untuk menghantar karya kepada pihak DBP, mereka perlu memastikan bahawa karya mereka ialah karya asli, ditulis dalam bahasa Melayu dan berbentuk penulisan majalah, karya tersebut tidak dihantar kepada penerbit lain dan perlu menyertakan butiran peribadi penulis bersama-sama karyanya.\nTambahnya, pihaknya akan menghubungi penulis jika ada antara karya yang dihantar telah melebihi tempoh yang ditetapkan telah dipilih untuk siaran kerana tempoh masa penilaian dan penerbitan sesuatu karya yang dihantar adalah dalam jangka masa enam bulan sahaja.\nDalam wacana tersebut juga, beliau memperincikan kandungan setiap majalah terbitan DBP agar para pelayar lebih memahami dan boleh mengenal pasti ruang yang boleh digunakan untuk mereka berkarya bersama-sama DBP.\n\u00a0\nMenerusi wacana bahasa yang berlangsung selama dua jam menerusi media sosial, Pengarah IAB Cawangan Sarawak turut berharap agar khalayak dapat meneroka peluang bagi menerbitkan karya dan seterusnya menyemarakkan lagi semangat menulis serta menggilap bakat baharu dalam bidang penulisan.\nWacana bahasa tersebut dapat ditonton secara dalam talian melalui laman Youtube IAB Cawangan Sarawak di https://www.youtube.com/watch?v=bxWxSVpX8mk." "Perkataan \u201cItu\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nAdakah perkataan \u201citu\u201d dikategorikan sebagai kata nama?\nDaripada:\nSu Hea Gaik,\nKulai, Johor." "Perihal Yang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata yang merupakan kata hubung pancangan relatif yang digunakan untuk memancangkan klausa subordinat relatif dalam klausa utama atau klausa bebas. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a. \u00a0Kereta itu baharu.\n1b. \u00a0Kereta itu cantik.\n1c. \u00a0Kereta yang baharu itu sangat cantik.\n1d. \u00a0Kereta baharu itu sangat cantik.\n\u00a0\n2a. \u00a0Orang itu sedang berlari.\n2b. \u00a0Orang itu kawan saya.\n2c. \u00a0Orang yang sedang berlari itu kawan saya.\n2d. \u00a0*Orang sedang berlari itu kawan saya.\nDalam kelompok ayat 1, ayat 1a dipancangkan dalam ayat 1b untuk menghasilkan ayat majmuk pancangan relatif 1c. Dalam hal ini, klausa relatif yang\u00a0baharu\u00a0itu\u00a0mengganti tempat kereta\u00a0itu\u00a0baharu. Oleh sebab kata baharu\u00a0merupakan kata adjektif, ada kalanya kata yang boleh digugurkan dalam struktur permukaan ayat (lihat ayat 1d).\nDalam kelompok ayat 2, ayat 2a dipancangkan dalam ayat 2b untuk menghasilkan ayat majmuk pancangan relatif 2c. Dalam hal ini, klausa relatif yang\u00a0sedang\u00a0berlari\u00a0itu\u00a0mengganti tempat orang\u00a0itu\u00a0sedang\u00a0berlari. Oleh sebab frasa sedang\u00a0berlari\u00a0merupakan frasa kerja, kata yang\u00a0tidak boleh digugurkan dalam struktur permukaan ayat (lihat ayat 2d).\nAda kalanya kemungkinan diselitkan dengan kata relatif yang membezakan frasa daripada kata majmuk. Sila lihat contoh yang berikut:\n3a. \u00a0Kereta mahal itu menarik minat.\n3b. \u00a0Kereta yang mahal itu menarik minat.\n\u00a0\n4a. \u00a0Kereta kebal itu menakjubkan.\n4b. \u00a0Kereta yang kebal itu menakjubkan.\nDalam kelompok ayat 3, kereta mahal itu\u00a0merupakan frasa nama umum kerana dapat diselitkan dengan kata hubung relatif yang tanpa mengubah maksudnya. Oleh itu, frasa nama kereta mahal\u00a0itu\u00a0sama ertinya dengan frasa nama kereta yang mahal itu.\nDalam kelompok ayat 4 pula, kata majmuk kereta kebal\u00a0mempunyai maksud khusus seperti kata tank dalam bahasa Inggeris.\u00a0 Jika kata yang\u00a0diselitkan, kereta yang kebal menjadi frasa nama umum yang bererti \u201capa-apa kereta yang buatannya amat teguh dan kebal daripada serangan\u201c. Oleh itu, kata majmuk kereta kebal\u00a0berbeza daripada frasa nama kereta yang kebal.\nKata yang dapat membentuk frasa nama terbitan daripada kata kerja dan kata adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:\n5a. \u00a0Pakaian itu mahal.\n5b. \u00a0Dia membeli yang mahal.\n5c. \u00a0Dia membeli pakaian yang mahal itu.\n\u00a0\n6a. \u00a0Pekerja itu mencuri tulang.\n6b. \u00a0Dia menegur yang mencuri tulang itu.\n6c. \u00a0Dia menegur pekerja yang mencuri tulang itu.\nDalam ayat 5a, kata mahal ialah kata adjektif. Dalam ayat 5b, yang mahal\u00a0merupakan frasa nama objek kepada kata kerja transitif membeli. Hal ini dikatakan demikian kerana inti frasa nama seperti pakaian\u00a0dalam ayat 5c boleh digugurkan.\nDalam ayat 6a, frasa mencuri\u00a0tulang ialah frasa kerja. \u00a0Dalam ayat 6b, yang\u00a0mencuri\u00a0tulang\u00a0merupakan frasa nama objek kepada kata kerja transitif menegur. Hal ini dikatakan demikian kerana inti frasa nama seperti pekerja\u00a0dalam ayat 6c boleh digugurkan.\nKehadiran yang sebagai frasa nama terbitan dapat dilihat dengan jelas pada pantun yang berikut:\nYang kurik itu kundi,\nyang merah itu saga;\nyang baik itu budi,\nyang indah itu bahasa.\n\u00a0\nAda kalanya, kehadiran yang dapat menghasilkan struktur ayat yang berbeza. Sila lihat contoh yang berikut:\n\u00a0\n8a. \u00a0Banyak orang yang datang.\n8b. \u00a0Orang yang datang banyak.\n\u00a0\n9a. \u00a0Rumah itu besar.\n9b. \u00a0Besar rumah itu.\n\u00a0\n10a. \u00a0Rumah itulah yang besar\n10b. \u00a0Yang besar rumah itu.\n\u00a0\nDalam ayat 7a, kata banyak\u00a0ialah kata bilangan tak tentu yang menjadi penentu hadapan bagi frasa nama banyak\u00a0orang. Susunan ayat 7 ialah susunan biasa dengan pola Frasa Nama (banyak\u00a0orang) + Frasa Kerja (datang).\nDalam ayat 8a, kata banyak merupakan predikat ayat dalam ayat susunan songsang. Susunan biasa ayat tersebut ialah ayat 7b, iaitu Frasa Nama (orang yang datang) + Frasa adjektif (banyak).\nDalam ayat 9a, Rumah itu besar\u00a0merupakan ayat susunan biasa dengan pola Frasa Nama (rumah itu) + Frasa Adjektif (besar). Ayat susunan songsangnya ialah ayat 9b.\nDalam ayat 10a, Rumah itulah yang besar\u00a0merupakan ayat susunan songsang dengan pola Frasa Nama (yang besar) + Frasa Nama (rumah itu). Hal ini dikatakan demikian kerana partikel penegas -lah\u00a0ditambah pada frasa nama predikat rumah itu\u00a0yang dikedepankan. Ayat susunan biasanya ialah ayat 10b.\nKata yang mungkin wujud lebih daripada satu kali dalam ayat majmuk, asalkan maksud ayat jelas. Sila lihat contoh yang berikut:\n11a. \u00a0Pekerja itu baru bertugas.\n11b. \u00a0Pekerja itu sedia menolong rakannya yang sibuk.\n11c. \u00a0Pekerja itu mendapat pujian ramai.\n11d. \u00a0Pekerja yang baru bertugas dan sedia menolong rakannya yang sibuk itu\nmendapat pujian ramai.\n\u00a0\nFrasa relatif dengan kata hubung yang dapat hadir dalam pelbagai kedudukan dalam ayat. Sihat contoh yang berikut:\n12a. \u00a0Baju yang cantik itu menjadi pilihannya.\n12b. \u00a0Yang cantik itu menjadi pilihannya.\n12c. \u00a0Dia mengambil yang segar itu.\n12d. \u00a0Dia menjadi yang terkenal dalam bidangnya.\nDalam ayat 12a, klausa relatif yang cantik itu\u00a0merupakan penerang kepada inti frasa nama baju. Dalam ayat 12b, frasa relatif yang cantik itu menjadi subjek ayat apabila inti frasa nama digugurkan. Dalam ayat 12c, klausa relatif yang segar itu\u00a0menjadi objek kepada kata kerja transitif mengambil. Dalam ayat 12d pula, klausa relatif yang terkenal dalam bidangnya menjadi pelengkap kepada kata kerja tak transitif menjadi." "15 Gerai Bazar Ramadan di Bangi Guna Bahasa Melayu dengan Betul\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Sebanyak 15 gerai daripada 77 gerai bazar Ramadan di Tapak Pasar Malam, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi telah terpilih dan menerima penghargaan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam Program Santun Bahasa, petang tadi.\nSebanyak 15 gerai yang menerima penghargaan tersebut ialah gerai Tepung Pelita 3 Puteri, Dapur Rendang, Cucur Udang, Kepak Ayam, Nasi Tomato, Man Java, Popia, Nasi Kenduri, Tepung Pelita NIR, Kambing Bakar, Pak Long Mi, Ara Cendol, Nasi Kukus Papa, Tepung Pelita Paya Jaras, dan Nasi Ayam Hainan.\nMenerusi penghargaan tersebut, sijil penghargaan dan buku terbitan DBP telah disampaikan kepada pemilik gerai oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YB Senator Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; dan Pegawai Unit Audit dan Pemantauan DBP, Puan Nor Hamuni Ibrahim.\nProgram Santun Bahasa yang dilaksanakan ini adalah anjuran DBP dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Majlis Perbandaran Kajang, yang bertujuan untuk memastikan masyarakat cakna akan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul melalui kaedah pemantauan.\nAntara objektif program ini termasuklah untuk meneliti tahap dan mutu penggunaan bahasa Melayu di tempat awam dan memberikan penghargaan kepada pihak yang menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul di tempat awam.\nUntuk rekod, Program Santun Bahasa ini merupakan satu daripada usaha yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu dengan melaksanakan pemantauan bahasa dari semasa ke semasa.\nMenurut Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, Program Santun Bahasa ini merupakan satu tinjauan yang dibuat oleh DBP untuk memastikan penggunaan bahasa Melayu yang baik di tempat awam. Tempat yang terpilih pada kali ini ialah di Bazar Ramadan, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi sebagai tinjauan pertama DBP yang merupakan tinjauan rintis.\nKita hendak memastikan agar peniaga gerai bertanggungjawab menggunakan bahasa kebangsaan yang baik dan bersopan santun. Memang kelonggaran dan kebenaran boleh diberi kepada mana-mana pihak untuk menamakan premisnya, tetapi menjadi tanggungjawab para peniaga khususnya untuk menghormati bulan Ramadan dengan menggunakan nama yang sesuai\u00a0 dengan adat ketimuran dan kesopanan serta menghormati kesucian agama Islam terutamanya pada bulan Ramadan ini.\nKatanya lagi, DBP boleh membantu para peniaga dalam hal bahasa kerana DBP mempunyai garis panduan yang mudah tentang cara untuk mencipta atau memberikan nama yang baik kepada premis perniagaan.\nSaya faham akan hasrat peniaga yang ingin melariskan jualan tetapi sementara melariskan jualan tersebut, kita juga ada tanggungjawab terhadap agama, masyarakat, dan bahasa kebangsaan kita. Kita juga sangat menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik di semua tempat termasuklah di bazar Ramadan. Alhamdulillah, tinjauan awal mendapati bahawa sebahagian besar pengusaha makanan menamakan gerai mereka dengan nama yang baik dan kita berharap agar hal ini berlaku secara berterusan di bazar yang lain.\nSelain itu, beliau turut berharap agar semua ahli masyarakat yang mengaku dirinya warganegara Malaysia bersama-sama mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.\nDBP tidak meminta mereka membayar apa-apa pun. Kita hanya meminta mereka menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik. Itu harapan kita. Saya juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana mempunyai kesedaran yang tinggi untuk memartabatkan bahasa kebangsaan khususnya di kawasan bidang kuasa mereka. Semoga pada tahun akan datang, aspek penamaan diberikan perhatian yang lebih dan DBP bersedia membantu semua PBT\u00a0 menyediakan garis panduan penamaan yang baik untuk gerai ataupun nama juadah yang dijual khususnya pada bulan Ramadan.\nTambahnya, DBP juga berharap agar wujud rasa tanggungjawab dan kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya para peniaga untuk menggunakan bahasa yang baik.\nDBP akan sentiasa berusaha untuk memastikan agar masyarakat menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik. Kita juga akan bekerjasama dengan semua pihak termasuklah PBT dan mana-mana pihak yang ada akses kepada kedaulatan bahasa kebangsaan. DBP akan memastikan agar pemerkasaan, pemartabatan dan kedaulatan bahasa kebangsaan akan terus dilakukan di seluruh negara." "Bentuk Kata Tugas\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata tugas merupakan kata heterogen yang mempunyai pelbagai fungsi tatabahasa dalam struktur ayat. Secara umumnya, kata tugas dapat dibahagikan kepada empat jenis, iaitu kata penyambung ayat, kata praklausa, kata prafrasa dan pascafrasa, dan kata pascakata.\nDari segi bentuknya, kata tugas mempunyai empat bentuk, iaitu kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk dan kata ganda. Dalam hal ini, kata tunggal merupakan kata yang belum mengalami sebarang proses morfologi, seperti pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Sila lihat contoh yang berikut:\nKata hubung tunggal: \u00a0dan, atau, sambil, bahawa, untuk, yang, kerana\nKata seru tunggal: \u00a0aduh, syabas, cis, wah\nKata tanya tunggal: \u00a0bila, berapa\nKata perintah tunggal: \u00a0jangan, usah, sila, minta, harap, tolong, jemput\nKata pembenar tunggal: \u00a0ya, benar, betul\nKata pangkal ayat tunggal: \u00a0hatta, maka, sebermula, kalakian\nKata bantu tunggal: \u00a0telah, baru, sedang, akan, mahu, boleh, mungkin, patut\nKata penguat tunggal: paling, cukup, benar, nian, amat, sungguh\nKata penegas tunggal: \u00a0memang, juga, pun, sahaja, lagi\nKata nafi tunggal: \u00a0tidak, bukan\nKata pemeri tunggal: ialah, adalah\nKata sendi nama tunggal: \u00a0di, hingga, bagai, demi, dalam, dengan\nKata arah tunggal: tengah, utara, tepi, hadapan, sudut\nKata bilangan tunggal: \u00a0dua, lima, semua, segala, seluruh\nKata adverba tunggal: \u00a0sering, selalu, kerap, nyaris, saling\n\u00a0\nKata tugas terbitan ialah kata tugas yang berimbuhan, sama ada imbuhannya ialah awalan, akhiran atau apitan. Sila lihat contoh yang berikut:\nKata hubung terbitan: malahan, sekiranya, sehingga, semoga, setelah\nKata tanya terbitan: \u00a0mengapa\nKata penguat terbitan: sekali, terlalu, semakin\nKata penegas terbitan: \u00a0sememangnya\nKata sendi nama terbitan: \u00a0sehingga, terhadap\nKata arah terbitan: \u00a0hadapan\nKata bilangan terbitan: \u00a0seratus, sekalian, setengah, sepertiga\n\u00a0\nKata tugas majmuk ialah kata tugas yang terdiri daripada dua atau lebih kata yang mempunyai makna khusus dan menjadi unit tatabahasa yang tersendiri. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\nKata hubung majmuk: \u00a0andai kata, sungguhpun, apabila, manakala, padahal,\noleh sebab\nKata tanya majmuk: \u00a0bagaimana\nKata bantu majmuk: \u00a0barangkali\nKata sendi nama majmuk: \u00a0daripada, kepada\nKata adverba majmuk: sering kali, kerap kali, kadangkala, sekali gus, acap kali\n\u00a0\nKata tugas ganda ialah kata tugas yang mengalami penggandaan semu, separa, penuh atau berentak. Sila lihat contoh yang berikut:\nKata penegas ganda: \u00a0benar-benar, betul-betul, lagi-lagi\nKata bilangan ganda: \u00a0beratus-ratus, ketiga-tiga, tiap-tiap, setengah-setengah,\nmasing-masing, sesetengah, beberapa\nKata adverba ganda: \u00a0kadang-kadang, sekali-sekali, julung-julung kali, jarang-\njarang, tinggi-tinggi, sama-sama, sekali-kali, teresak-esak, bersungguh-\nsungguh, selama-lamanya, gila-gilaan, serta-merta, lintang-pukang\n\u00a0\nBagi kata tugas ganda, terdapat morfem terikat yang mengalami penggandaan semu, seperti kata tiap-tiap, masing-masing\u00a0dan kadang-kadang. Terdapat penggandaan separa seperti kata beberapa, sesetengah, bermalam-malam, setinggi-tingginya\u00a0dan besar-besaran. Terdapat kata ganda penuh seperti kata benar-benar, betul-betul,\u00a0lagi-lagi dan setengah-setengah. Selain itu, terdapat penggandaan berentak seperti susup-sasap, huyung-hayang\u00a0dan sedu-sedan.\nSelain kata penuh, terdapat juga sejumlah morfem terikat dalam bentuk partikel yang menjadi kata tugas. Contohnya ialah partikel penegas -lah, -tah\u00a0dan -kah, dan partikel penekan atau pembenda -nya. Selain itu, ada morfem terikat dalam bentuk akar kata mudi\u00a0yang menjadi kata dasar bagi kata hubung gabungan kemudian.\nSatu hal yang menarik ialah sendi nama oleh (sebab), dan kata hubung pancangan keterangan musabab oleh sebab\u00a0dan sebab. Sila lihat contoh yang berikut;\n1a. \u00a0Dia dipuji oleh (sebab)\u00a0ketekunannya berusaha.\n1b. \u00a0Dia dipuji oleh sebab\u00a0dia tekun berusaha.\n1c. \u00a0Dia dipuji sebab\u00a0dia tekun berusaha.\n\u00a0\nDalam ayat 1a, sendi nama oleh (sebab)\u00a0mendahului frasa nama ketekunannya berusaha. Dalam ayat 1b dan 1c, kata hubung pancangan keterangan musabab oleh\u00a0sebab\u00a0atau sebab\u00a0berada pada pangkal klausa keterangan oleh sebab dia tekun berusaha\u00a0atau sebab dia tekun berusaha.\nApabila kata tugas diubah bentuknya, maksud dan golongan katanya mungkin berubah. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n2a. \u00a0Dia ada banyak\u00a0harta.\n2b. \u00a0Dia membanyakkan\u00a0hartanya.\n2c. \u00a0Dia mengumpulkan harta banyak-banyak.\n\u00a0\n3a. \u00a0Dia tidak\u00a0jujur.\n3b. \u00a0Dia menidakkan\u00a0usaha rakannya.\n3c. \u00a0Dia bercakap tentang hal yang tidak-tidak.\n\u00a0\n4a. \u00a0Dia sungguh\u00a0pandai.\n4b. \u00a0Kesungguhannya\u00a0memang membanggakan.\n4c. \u00a0Sungguhpun\u00a0pandai, dia kurang berjaya.\n4d. \u00a0Dia berusaha sungguh-sungguh.\n\u00a0\nDalam ayat 2a, kata tunggal banyak\u00a0ialah kata tugas (kata bilangan tak tentu). \u00a0Dalam ayat 2b, kata terbitan membanyakkan\u00a0ialah kata kerja transitif. Dalam ayat 2c, kata ganda banyak-banyak\u00a0ialah kata adverba. Dalam ayat 3a, kata tunggal tidak\u00a0ialah kata tugas (kata nafi). Dalam ayat 3b, kata terbitan menidakkan\u00a0ialah kata kerja. Dalam ayat 3c, kata ganda tidak-tidak\u00a0ialah kata adjektif. Dalam ayat 4a, kata tunggal sungguh\u00a0ialah kata tugas (kata penguat). Dalam ayat 4b, kata terbitan kesungguhan\u00a0ialah kata nama. Dalam ayat 4c, kata majmuk sungguhpun\u00a0ialah kata hubung pancangan keterangan pertentangan. Dalam ayat 4d, kata sungguh-sungguh\u00a0ialah kata adverba." "Kata Majmuk\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nAdakah baju besi merupakan kata majmuk?\nDaripada:\nArif Harun,\nKuantan, Pahang." "Diplomasi Bahasa Mencipta Keharmonian Sambutan Hari Raya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cSudah kahwin ke belum?\u201d merupakan antara pertanyaan hangat daripada orang tua-tua di kampung yang kadang\u00a0kalanya membingitkan telinga anak dara dan teruna yang masih belum lagi menemui pasangan masing-masing. Jangan berkecil hati dan menunjukkan muka mencuka dengan pertanyaan sebegitu kerana itu cara orang tua-tua ingin memulakan komunikasi dan mewujudkan suasana yang mesra.\nOleh itu, kita sebagai orang yang lebih muda perlu tahu menggunakan diplomasi bahasa untuk menjawab soalan\u00a0seperti\u00a0itu\u00a0bagi mengelakkan kejadian bermasam muka dan menyebabkan sambutan hari raya bertukar menjadi medan permusuhan. Janganlah pula menggelarkan kelompok orang tua-tua ini sebagai \u201cmakcik bawang\u201d sebagai tanda protes tetapi sambutlah soalan tersebut dengan kaedah berseloroh agar keharmonian hari raya terus tercipta.\nDalam konteks ini, diplomasi bahasa merupakan suatu kiat dan strategi dengan menggunakan kebijaksanaan mengembangkan bahasa sama ada secara lisan mahupun tulisan dengan tujuan untuk memahami pertuturan, mengeratkan dan menebarkan hubungan baik sesama manusia.\nFrasa ini bukan hanya digunakan oleh pihak pentadbiran negara tetapi juga boleh menjurus kepada skop\u00a0yang\u00a0lebih kecil seperti dalam keluarga mahupun masyarakat persekitaran. \u00a0Diplomasi bahasa berperanan untuk mengawal keadaan yang buruk menjadi lebih baik, dapat membuat perundingan dan menegur kelompok tertentu secara berhemah.\nDiplomasi bahasa dalam arena jual beli sangat penting terutamanya apabila menjelangnya sambutan hari raya. Banyak\u00a0orang\u00a0akan pergi ke gedung beli-belah atau ke gerai jualan bagi mencari pakaian terbaik untuk dipakai dan pelbagainya untuk digunakan pada pagi hari raya. Pembeli akan tertarik hati dengan tawaran yang dianggap lumayan bagi mereka. Dengan itu, diplomasi bahasa perlu digunakan oleh penjual semasa berunding harga dengan pembeli. Penggunaan ayat yang teratur dan ucapan yang sopan di samping kualiti barang yang bermutu akan dapat memenangi hati pembeli.\nJika diperhatikan,\u00a0diplomasi bahasa bukan sahaja digunakan oleh penjual secara terus kepada pembeli tetapi juga para penjual menulis ayat-ayat perundingan pada kertas iklan yang digantung di\u00a0gerai-gerai jualan dan pusat beli-belah bagi menarik dan meyakinkan pembeli. Walaupun ayat ini ayat iklan untuk melakukan jualan masing-masing tetapi ayat ini\u00a0termasuk dalam kaedah diplomasi bahasa. Situasi menang-menang antara penjual dan pembeli akan dapat mencipta keharmonian kedua-dua pihak untuk menyambut hari lebaran.\nSaban tahun, sebelum meraikan sambutan hari raya semua rakyat Malaysia ternanti-nanti\u00a0akan pengumuman hari raya oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja,\u00a0selaku pihak berkuasa yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja. Kesemua mata dan telinga tertumpu pada kaca televisyen dan menantinya dengan penuh sabar. Namun\u00a0begitu, apabila pengumuman dibuat, timbul pelbagai reaksi seperti suka, terkejut, dan ada juga berasa marah serta pelbagai lagi reaksi yang terpancar daripada orang ramai. Maka banyaklah hamburan kata sama ada yang positif atau negatif akan kedengaran sehingga dizahirkan pada status masing-masing di Facebook dan TikTok. Boleh dikatakan pada malam itu\u00a0pengumuman tarikh tersebut menjadi perbincangan yang paling hangat.\nKehangatan reaksi yang boleh mengganggu keharmonian sambutan hari raya sebenarnya boleh diredakan jika masing-masing menggunakan diplomasi bahasa. Perbualan atau balasan komen yang diberikan perlulah dalam reaksi yang menenangkan serta menerangkan situasi agar fikiran yang tidak waras kembali normal.\nKeharmonian perlu diutamakan agar sambutan hari raya dapat diraikan dengan gembira. Dalam hal ini, diplomasi bahasa berfungsi sebagai perundingan bagi melahirkan situasi keharmonian masyarakat Malaysia Madani yang beragama Islam.\nSelain itu, suasana di kampung halaman juga perlu diperkaya dengan diplomasi bahasa apabila menegur dan melatih \u201canak dara dan teruna digital\u201d yang berat tulang membantu melakukan kerja-kerja di dapur. Panggilan daripada\u00a0orang tua sepelaung dan berulang kali tidak disahut kerana leka dengan telefon pintar di samping mengambil gambar ala model yang menyebabkan ibu-ibu di dapur \u00a0mengamuk seperti singa betina.\nHasilnya, habuan cubitan dan pelbagai kata-kata kesat yang dilemparkan kepada kelompok ini. Perkara ini sudah pasti menerbitkan rasa malu kepada anak dara dan teruna terutamanya apabila saudara-mara berkumpul di rumah. Pekikan sebegini bukanlah prakarsa terbaik untuk mendidik anak muda terutamanya generasi Y dan Z agar ringan tulang.\nPada kesinambungan itu, ibu bapa sekalian perlu menggunakan pendekatan bijak,\u00a0iaitu dengan berdiplomasi dalam berbahasa. Misalnya, mendatangi secara dekat anak-anak tersebut dan seterusnya mengajak mereka duduk bersama-sama sambil mengajar membuat kerja-kerja tersebut. Kayakan mereka dengan bahasa yang indah seperti kata puji-pujian agar \u201canak-anak digital\u201d\u00a0\u00a0ini berasa lebih dihargai walaupun hasil kerja mereka tidak sempurna yang diharapkan.\nDalam hal ini, sebagai ingatan bersama-sama, bahasa yang digunakan oleh ibu bapa akan diwarisi. Keperibadian anak-anak adalah cerminan ibu bapanya. Justeru itu, ibu bapa perlu nekad menggunakan bahasa yang elok dalam mendidik agar anak-anak terdidik dengan pertuturan lisan dan tulisan yang baik serta beradab.\nTidak ketinggalan juga kepada anak-anak kecil yang terlalu aktif dan gembira bermain mercun bagi meraikan sambutan hari raya. Dentuman mercun sangat menggembirakan anak-anak kecil ini. Ibu atau bapa perlu mengawal situasi tersebut kerana jika dibiarkan bermain dalam kelompok antara mereka sudah pasti gelak tawa yang kedengaran pada mulanya diakhiri dengan pergaduhan dan tangisan.\nPeranan ibu bapa dalam hal ini sangat penting untuk mengawal keadaan bagi mengelakkan hubungan anak-anak kecil ini menjadi semakin keruh. Diplomasi bahasa dengan kaedah memujuk dan menjelaskan keadaan bahawa dengan bermain mercun secara berdekatan akan membahayakan rakan-rakan sekeliling. Anak-anak kecil akan mudah faham dengan kaedah tersebut berbanding dengan ugutan yang boleh menimbulkan rasa takut dan trauma dalam\u00a0kalangan mereka.\nAmalan kunjung-mengunjungi semasa hari raya adalah medium terbaik untuk \u00a0mempereratkan hubungan antara satu sama lain. Tuan rumah juga sudah pastinya\u00a0sibuk menyediakan juadah terbaik untuk dihidangkan kepada tetamu yang datang. Apabila berkunjung ke rumah orang, bukan sahaja adab yang perlu dipelihara tetapi cara bertutur juga perlu dijaga. Bagi tetamu, mereka perlu beringat bahawa terdapat sempadan kawasan yang tidak perlu dimasuki. Namun\u00a0begitu,\u00a0apabila terdesak mungkin terdapat kawasan yang akan disinggahi.\nAdakalanya lantai di dapur sedikit licin kerana terkena minyak hasil masakan. Janganlah pula terus menegur tuan rumah sehingga mengaibkannya. Hargailah daya usaha dan penat lelah tuan rumah menyediakan hidangan tersebut. Berilah kata-kata penghargaan terhadap masakan yang disediakan agar tuan rumah berasa dihargai. Penggunaan diplomasi bahasa dalam hal ini akan membantu mewujudkan lagi kemesraan antara satu sama lain.\nDiplomasi bahasa sememangnya penting apabila bertemu dengan kenalan ataupun orang yang baharu dikenali. Penggunaan diplomasi bahasa bukan sahaja menampilkan kredibiliti seseorang tetapi juga menunjukkan takat keintelektualan dalam berbahasa. Diplomasi bahasa merangkumi pelbagai aspek kerana melibatkan pertuturan dan juga bahasa badan.\nDiplomasi bahasa\u00a0tidak sama sekali menganjurkan kekerasan yang melibatkan pertelingkahan tetapi lebih mengutamakan keharmonian sesama makhluk. Oleh itu, gunakanlah diplomasi bahasa agar dapat mencipta keharmonian semasa menyambut hari raya yang mulia. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin kepada semua.\n\u00a0\n\u00a0\nProfesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad \u2212 Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, yang juga Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan." "Fungsi Kata Sendi Nama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata sendi nama tergolong dalam kelompok kata tugas dalam bahasa Melayu. Pengguna bahasa sedia maklum bahawa kata sendi nama wajib diikuti oleh kata nama sebagai pelengkapnya. Walaupun begitu, penggunaan kata sendi nama secara mudah tanpa mematuhi hukum yang betul boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pembaca. Yang berikut, fungsi kata sendi nama mengikut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, iaitu:\nJadual 1 Kata sendi nama dan fungsinya.\nAyat Contoh:\n1. Cikgu Suhaimi sedang berbincang tentang masalah disiplin murid itu.\n2. Tindakan disiplin akan diambil terhadap murid itu.\n3. Amaran terakhir telah diberikan kepada murid itu.\nDengan berdasarkan ayat contoh di atas, jelaslah bahawa penggunaan ketiga-tiga kata sendi nama ini membawa maksud yang berbeza.\nAyat 1: Rujukan umum (masalah disiplin).\nAyat 2: Rujukan tertentu (murid itu \u2013 manusia).\nAyat 3: Sasaran manusia (murid itu)\nNamun demikian, kekeliruan penggunaan kata sendi nama terhadap dan kepada masih berleluasa dalam kalangan pengguna bahasa terutamanya bagi penyambut manusia, haiwan, mujarad/umum. Hal ini berlaku kerana kedua-dua kata sendi nama ini dapat diikuti oleh unsur yang sama.\nJadual 2 Kata sendi nama \u201cterhadap\u201c dan \u201ctentang\u201c serta fungsinya.\nJika dilihat dalam Jadual 2, didapati bahawa penggunaan kedua-dua kata sendi nama ini dibezakan oleh maksud yang dibawa oleh sesuatu ayat.\nAyat Contoh Keterangan Manusia:\n1a.\u00a0\u00a0 Suhaimi memberikan hadiah kepada rakannya.\n1b. *Suhaimi memberikan hadiah terhadap rakannya.\n2a.\u00a0\u00a0 Tindakan tatatertib akan diambil terhadap guru itu.\n2b. *Tindakan tatatertib akan diambil kepada guru itu.\nAyat Contoh Keterangan Haiwan:\n1a.\u00a0\u00a0 Siti memberikan makanan kepada kucingnya.\n1b. *Siti memberikan makanan terhadap kucingnya.\n2a.\u00a0\u00a0 Nilai simpati terhadap haiwan wajarlah dipupuk.\n2b. *Nilai simpati kepada haiwan wajarlah dipupuk.\nAyat Contoh Pelengkap Abstrak:\n1a.\u00a0\u00a0 Golongan muda terdedah kepada dadah.\n1b. *Golongan muda terdedah terhadap dadah.\n2a.\u00a0\u00a0 Peluntur itu bertindak terhadap kotoran.\n2b.\u00a0 *Peluntur itu bertindak kepada kotoran.\nDengan berdasarkan huraian di atas, kita mendapati bahawa semua ayat 1a membawa maksud sasaran yang melibatkan penyambut manusia, haiwan dan benda. Sementara itu, semua ayat 2a membawa maksud rujukan yang melibatkan penyambut manusia, haiwan, dan benda. Ayat-ayat 1b dan 2b merupakan ayat yang menyalahi nahu tatabahasa yang gramatis.\nSelain kekeliruan di atas, penggunaan kata sendi nama \u201cdari\u201d dan \u201cdaripada\u201d juga sering mengelirukan pengguna bahasa. Kita acap kali melihat iklan pada papan iklan yang berkaitan dengan harga rumah di sesuatu kawasan perumahan baharu.\nMenurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, kata sendi nama \u201cdari\u201d hanya digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat, atau waktu. Namun demikian, penggunaan \u201cdari\u201d dalam paparan iklan di atas tidak mengikut Tatabahasa Dewan. Adakah penggunaannya menyalahi hukum tatabahasa? Adakah penggunaannya wajar digantikan dengan kata sendi nama \u201cdaripada\u201d? Penggunaan kata sendi nama \u201cdari\u201d dalam iklan di atas sebenarnya mematuhi hukum nahu yang persis. Sila lihat ayat contoh di bawah ini:\n1. Bakat Aisyah dalam penulisan cerpen terserlah sejak peringkat sekolah lagi.\n2.\u00a0Bakat Aisyah dalam penulisan cerpen terserlah dari peringkat sekolah lagi.\nDengan berdasarkan contoh ayat di atas, jelaslah bahawa penggunaan kata sendi nama \u201cdari\u201d digunakan sebelum kata nama yang mendukung maksud peringkat atau tahap. Penggunaan kata sendi nama \u201cdari\u201d bagi maksud di atas ini sudah lama digunakan waima tidak termaktub dalam Tatabahasa Dewan. Hal ini dapat dianggap sebagai suatu bentuk perkembangan bahasa mengikut peredaran zaman. Oleh hal yang demikian, penggunaan kata sendi nama \u201cdari\u201d dalam iklan di atas membawa makna peringkat harga yang ditawarkan bagi projek perumahan di kawasan itu.\nSelain itu, penggunaan \u201cdari\u201d dan \u201cdaripada\u201d yang merujuk maksud tempat dan institusi juga sering mengelirukan pengguna bahasa. Sila lihat ayat di bawah ini.\n1. Encik Azman pulang dari Pejabat Pelajaran Daerah Segamat.\n2. Encik Azman daripada Pejabat Pelajaran Daerah Segamat akan menyampaikan ceramah itu.\nWalaupun kedua-dua ayat di atas tampak hampir sama, ayat di atas membawa maksud yang berbeza. Ayat 1 membawa maksud pergerakan Encik Azman dari Pejabat Pelajaran Daerah Segamat. Ayat 2 pula membawa maksud Encik Azman mewakili Pejabat Pelajaran Daerah Segamat untuk menyampaikan ceramah. Perbezaan ini haruslah dikuasai oleh pengguna bahasa dengan baiknya agar kekeliruan bahasa dapat dielakkan.\nKata sendi nama \u201cdengan\u201d dan \u201cdaripada\u201d sering ditukar ganti\u00a0 disebabkan oleh kekeliruan penggunaan dalam ayat. Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, penggunaan kata sendi nama \u201cdengan\u201c dan \u201cdaripada\u201c adalah seperti yang berikut:\nJadual 3 Kata sendi nama \u201cdengan\u201c dan \u201cdaripada\u201c serta fungsinya.\nDengan berdasarkan huraian di atas, penggunaan kedua-dua kata sendi nama ini tidak dapat bertukar ganti dalam ayat. Sila lihat ayat di bawah ini.\n1. Prestasi pasukan bola sepak sekolah meningkat berbanding daripada tahun lalu.\n2. Kualiti kertas kitar semula itu berbeza dengan kualiti kertas asli.\nPenggunaan kata sendi nama dalam kedua-dua ayat itu menyalahi hukum tatabahasa yang betul. Kata kerja tak transitif \u201cberbanding\u201d dalam ayat 1 membawa maksud \u201cdibandingkan\u201d menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua. Oleh hal yang demikian, kata kerja tak transitif ini wajib diikuti oleh kata sendi nama \u201cdengan\u201d dan bukannya \u201cdaripada\u201c.\n1a. Prestasi pasukan bola sepak sekolah meningkat berbanding dengan tahun lalu.\nBagi ayat kedua pula, kata kerja tak transitif \u201cberbeza\u201c mendukung maksud \u201ctidak sama antara satu dengan yang lain\u201d menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua. Sebagai analoginya, kata kerja tak transitif ini membawa maksud perbezaan atau perbandingan yang tidak sama. Dengan berdasarkan huraian dalam jadual di atas, penggunaan kata sendi nama \u201cdaripada\u201d lebih sesuai digunakan untuk menyatakan maksud perbezaan yang tidak sama.\n2a. Kualiti kertas kitar semula itu berbeza daripada kualiti kertas asli.\nSebagai kesimpulannya, penggunaan frasa sendi nama dalam pembinaan ayat bahasa Melayu memainkan peranan yang signifikan baik sebagai predikat, pelengkap, mahupun sebagai keterangan ayat. Oleh hal yang demikian, pengguna bahasa wajarlah menguasai penggunaan dan fungsi setiap frasa sendi nama ini agar ketepatan wacana dapat diserlahkan dalam penulisan kita." "Mengindustrikan Bahasa Melayu dalam Pembangunan Citra dan Nilai Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBANGI \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sentiasa berusaha untuk terus memartabatkan bahasa Melayu. Selain itu, DBP turut berusaha ke arah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam bidang perniagaan dan seterusnya meluaskan penggunaannya dalam sektor berkenaan secara global.\n\nBahasa Melayu akan setanding dengan bahasa Inggeris dan bahasa lain sekiranya penggunaannya meluas dalam kalangan penutur dalam bidang perniagaan. Kadar penggunaan bahasa Melayu dalam urusan perniagaan bergantung pada sejauh mana penutur ibunda bahasa itu mengaplikasikannya dalam urusan perniagaan. Sekiranya banyak orang terlibat dalam perniagaan, maka bahasa yang digunakan mereka itu akan dijadikan sebagai alat komunikasi dalam urusan perniagaan dengan meluas.\nSebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu\u00a0mempunyai banyak perbendaharaan kata, \u00a0dan istilah yang sesuai untuk mengungkapkan konsep dan pemikiran tentang hal-hal perihal perdagangan antarabangsa, perindustrian ringan dan berat, perniagaan saham, pengurusan perakaunan dan perangkaan. Oleh itu, bahasa Melayu perlu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bahasa lain seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Jerman dan bahasa Jepun yang sudah lama berperanan sebagai bahasa ilmu moden dengan jayanya.\nSehubungan dengan itu, DBP telah mengadakan Pelan Strategik yang mempunyai tiga teras utama, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi yang digunakan secara meluas dalam sektor perekonomian, bahasa Melayu sebagai bahasa negara yang menjadi alat pemupukan jati diri dan perpaduan rakyat dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang mempunyai ciri formal yang menjadi wahana dalam penyampaian ilmu dalam pelbagai bidang.\nNamun begitu, DBP berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi. Antaranya termasuklah Akta DBP yang tidak membenarkan penubuhan syarikat, yakni kuasa DBP terhad untuk menjalankan fungsi komersial sahaja. Akta DBP yang ada juga tidak ada memberikan DBP kuasa penguatkuasaan untuk melaksanakan penguatkuasaan dan kuasa itu terletak pada Pihak Berkuasa Tempatan. DBP hanya berfungsi untuk menasihati dan membuat teguran sahaja. Tanggungjawab DBP dalam memberikan perkhidmatan juga untuk obligasi sosial dan pelaksanaan dasar kerajaan. Sebagai sebuah \u00a0badan berkanun, DBP terikat dengan peraturan dan pekeliling kerajaan.\n\u201cKita\u00a0 harus yakin bahawa bahasa kebangsaan mempunyai nilai ekonomi dan memberikan nilai ekonomi kepada bahasa kebangsaan juga tanggungjawab kita bersama.\u00a0Untuk bahasa Melayu kekal relevan sebagai bahasa yang dapat membangunkan budaya dan citra nilai kebangsaan, \u00a0kita perlu memberikan nilai tambah kepada bahasa Melayu, khususnya nilai ekonomi.\u201d\nDemikianlah antara penerangan oleh Dr. Hazami Jahari, iaitu Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP sebagai penceramah undangan dan Dr. Muhammad Hakimi Mohd Shafiai, iaitu Timbalan Dekan Jaringan dan Alumni, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pemudah cara menerusi \u201cWebinar Memperkasakan Bahasa Melayu sebagai Industri Baharu di Malaysia: Potensi dan Cabaran\u201d. Webinar ini anjuran\u00a0Sekretariat Jaringan dan Alumni, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM dengan kerjasama DBP yang bersiaran secara langsung pada pukul 9.00 pagi tadi." "Mengenal Polisemi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPolisemi ialah kata daripada sumber yang sama tetapi mempunyai pelbagai makna. Dalam hal ini, kebanyakan kata dalam bahasa Melayu merupakan polisemi kerana maknanya berubah mengikut konteks penggunaannya dalam ayat. Untuk menguasai sesuatu bahasa, pengetahuan tentang polisemi amat penting kerana hal tersebut membolehkan kita mengenali dan menggunakan kata secara bervariasi dan kreatif.\nPada umumnya, terdapat perkaitan antara pelbagai makna yang didukung oleh sesuatu polisemi. Dari satu sudut, kaitannya mungkin dari segi makna denotatif atau konotatif. Sebagai\u00a0contoh, makna denotatif bagi kata nama mulut\u00a0ialah \u201cbukaan untuk mengunyah makanan\u201d, tetapi makna konotatif atau makna luasnya ialah \u201csebarang bukaan yang bentuknya seperti mulut\u201d. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a. \u00a0Mulutnya berisi makanan.\n1b. \u00a0Mulut\u00a0belanga itu terbuka.\n1c. \u00a0Mulut\u00a0kubur itu ditutup dengan tanah.\n1d. \u00a0Dia menunggu rakannya di hadapan mulut\u00a0gua itu.\n\u00a0\nBagi kata nama hulu, makna umumnya ialah \u201ckedudukan di atas\u201d. Sila lihat contoh yang berikut:\n2a. \u00a0Air mengalir deras di hulu\u00a0sungai.\n2b. \u00a0Hulu\u00a0baginda gering.\n2c. \u00a0Kampung di hulu\u00a0itu masih mundur.\n2d. Hulu\u00a0keris itu berukiran cantik.\n\u00a0\nDalam ayat 2a, kata nama hulu bererti \u201cbahagian atas sungai\u201c. Dalam ayat 2b, kata hulu\u00a0bermaksud \u201ckepala\u201d, iaitu anggota badan yang berada pada kedudukan di atas. Dalam ayat 2c, kata hulu\u00a0bererti \u201cpedalaman\u201d, dan dalam ayat 2d, kata hulu\u00a0bermaksud \u201ctangkai\u201d. Oleh itu, ada kalanya polisemi mempunyai makna khusus atau makna yang berbeza sedikit banyak daripada makna umumnya.\nSelain kata nama, ada juga kata adjektif yang merupakan polisemi. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n3a. \u00a0Fikirannya mentah.\n3b. \u00a0Buah itu mentah.\n3c. \u00a0Makanan itu mentah.\n3d. \u00a0Bahan mentah\u00a0harus kita proses.\n\u00a0\n4a. \u00a0Dia bersifat baik.\n4b. \u00a0Makanan itu baik\u00a0untuk kesihatan.\n4c. \u00a0Hubungan antara mereka baik.\n4d. \u00a0Barangan itu baik\u00a0mutunya.\n4e. \u00a0Keadaan pesakit itu semakin baik.\n\u00a0\nDalam kelompok ayat 3, makna umum kata adjektif mentah\u00a0ialah \u201cbelum mempunyai sifat tertentu atau belum mengalami proses tertentu\u201d. Dalam ayat 3a, kata mentah\u00a0bererti \u201cbelum matang\u201d. Dalam ayat 3b, kata mentah\u00a0bermaksud \u201cbelum masak\u201d. Dalam ayat 3c, kata mentah\u00a0bererti \u201cbelum dimasak\u201d. Dalam ayat 3d, kata mentah\u00a0bererti \u201cbelum diproses\u201d. Dalam kelompok ayat 4, makna umum kata adjektif baik\u00a0ialah \u201celok\u201d.\nDalam ayat 4a, kata baik\u00a0bererti \u201celok dari segi perangai\u201d. Dalam ayat 4b, kata baik\u00a0bermaksud \u201celok dari segi khasiat\u201d. Dalam ayat 4c, kata baik\u00a0bererti \u201celok dari segi hubungan\u201d. Dalam ayat 4d, kata baik\u00a0bererti \u201celok dari segi mutu\u201d. Dalam ayat 4e, kata baik\u00a0bererti \u201celok sesudah sakit\u201d.\n\u00a0\nAda juga kata kerja yang merupakan polisemi. Sila lihat contoh yang berikut:\n5a. \u00a0Dia jatuh\u00a0ke dalam longkang.\n5b. \u00a0Buah yang masak jatuh\u00a0dari pokok.\n5c. \u00a0Matahari sudah jatuh\u00a0di ufuk barat.\n5d. \u00a0Kerajaan itu telah jatuh.\n5e. \u00a0Harga barangan jatuh.\n5f. \u00a0\u00a0Bandar itu jatuh\u00a0ke tangan musuh.\n5g. \u00a0Perusahaan itu jatuh\u00a0kerana tidak cukup modal.\n5h. \u00a0Dia jatuh\u00a0miskin.\n5i. \u00a0\u00a0Anaknya jatuh\u00a0dalam peperiksaan kali ini.\n5j. \u00a0\u00a0Perayaan itu jatuh\u00a0pada bulan ini.\n\u00a0\nDalam kelompok ayat 5, makna umum bagi kata kerja jatuh\u00a0ialah \u201cturun dari kedudukan yang lebih tinggi atau lebih baik\u201d. Dalam ayat 5a, kata kerja jatuh\u00a0bererti \u201cturun dari kedudukan berdiri atau menegak\u201d. Dalam ayat 5b, kata jatuh\u00a0bererti \u201cturun dari kedudukan yang tinggi pada pokok\u201d. Dalam ayat 5c, kata jatuh\u00a0bermaksud \u201cturun dari kedudukan yang tinggi pada langit\u201d. Dalam ayat 5d, kata jatuh\u00a0bererti \u201cturun daripada kedudukan yang kukuh\u201d. Dalam ayat 5e, kata jatuh\u00a0bererti \u201cturun dari paras harga yang lebih tinggi\u201d. Dalam ayat 5f, kata jatuh\u00a0bererti \u201cturun dari segi kedudukan yang terkawal\u2019. Dalam ayat 5g, kata jatuh\u00a0bererti \u201cturun dari segi kemajuannya\u201d.\u00a0Dalam ayat 5h, kata jatuh\u00a0bererti \u201cturun daripada kedudukan yang teguh kewangannya\u201d. Dalam ayat 5i, kata jatuh\u00a0bererti \u201cturun daripada kedudukan lulus\u201d. \u00a0Walau bagaimanapun, dalam ayat 5j, kata jatuh\u00a0bererti \u201cberlaku\u201d.\n\u00a0\n6a. \u00a0Dia orang yang berada.\n6b. \u00a0Dia masih berada\u00a0di kampung.\nDalam kelompok ayat 6, kata kerja berada\u00a0bererti \u201cada sesuatu\u201d\u00a0atau \u201cada di sesuatu tempat\u201d. Dalam ayat 6a, kata berada\u00a0bermaksud \u201cada banyak harta atau wang\u201d. Dalam ayat 6b, kata berada\u00a0bererti \u201cada di sesuatu tempat\u201d. Walau bagaimanapun, kata berada\u00a0dalam ayat 6a ialah kata kerja tak transitif tanpa pelengkap, manakala dalam ayat 6b, kata berada\u00a0ialah kata kerja tak transitif yang harus diikuti oleh pelengkap frasa sendi nama.\nAda kalanya polisemi wujud disebabkan berlakunya perubahan pada makna kata dengan adanya peralihan masa. Hal ini meliputi peluasan makna, penyempitan atau pembatasan makna dan pejorasi Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n7a. \u00a0Dia merupakan saudara\u00a0saya.\n7b. \u00a0Dia saudara\u00a0sebelah ibu saya.\n7c. \u00a0Mereka saudara\u00a0sepermainan.\n\u00a0\n8a. \u00a0Semangat\u00a0datang dalam mimpinya.\n8b. \u00a0Semangat\u00a0perkauman harus kita elakkan.\n8c. \u00a0Semangat\u00a0juangnya tinggi.\n\u00a0\nDalam kelompok ayat 7, maksud kata saudara\u00a0diluaskan daripada \u201cadik-beradik\u201d\u00a0(lihat ayat 7a) kepada \u201csaudara-mara\u201d\u00a0(lihat ayat 7b) dan kemudiannya diperluas kepada \u201cteman atau kawan\u201d\u00a0(lihat ayat 7c). Dalam kelompok ayat 8, semangat\u00a0yang bermaksud \u201croh yang terdapat pada segala makhluk\u201d\u00a0diluaskan kepada maksud \u201cperasaan\u201d\u00a0(lihat ayat 8b) dan \u201ckemahuan yang keras\u201d\u00a0(lihat ayat 8c).\n9a. \u00a0Beliau merupakan sarjana\u00a0dalam bidang sastera.\n9b. \u00a0Dia mendapat ijazah Sarjana\u00a0Muda.\n\u00a0\n10a. \u00a0Sendi\u00a0jarinya sakit.\n10b. \u00a0Kata \u201coleh\u201d\u00a0ialah sendi\u00a0nama.\nDalam kelompok ayat 9, kata sarjana\u00a0yang bermakna \u201corang yang pandai\u201d\u00a0(lihat ayat 9a) disempitkan maksudnya kepada \u201cgelaran kelulusan di universiti\u201d\u00a0dalam ayat 9b.\nDalam kelompok ayat 10, kata sendi\u00a0yang bererti \u201ctempat yang menghubungkan tulang\u201d\u00a0(lihat ayat 10a) disempitkan maksudnya kepada \u201ckata yang menghubungkan kata nama dengan bahagian ayat\u201d\u00a0dalam ayat 10b.\n\u00a0\n11a. \u00a0Dia berkhalwat\u00a0untuk menyucikan diri.\n11b. \u00a0Pasangan kekasih itu didapati berkhalwat.\nDalam kelompok ayat 11, terdapat proses pejorasi bahasa, iaitu perubahan maksud kata daripada yang elok kepada yang kurang elok. Dalam hal ini, maksud berkhalwat\u00a0dalam ayat 11a yang bererti \u201cmengasingkan diri\u201d\u00a0telah berubah untuk menjadi \u201cberdua-duaan antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram dalam keadaan yang sumbang di tempat yang tersembunyi\u201d\u00a0dalam ayat 11b." "Demi Kesihatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKesihatan merupakan perkara perdana yang harus kita jaga dan pelihara. Hal ini dikatakan demikian kerana tanpa kesihatan, segala yang kita miliki dan capai tidak lagi bermakna. Kita dapat menjaga kesihatan dengan pelbagai cara, termasuk melakukan senaman, mengamalkan pemakanan yang seimbang, berehat dan bertenang, dan sebagainya. Dalam hal ini, aktiviti sukan ternyata menguatkan tulang, mengentalkan otot, melancarkan pernafasan dan peredaran darah, dan membawa pelbagai kemaslahatan yang lain.\nSejak dahulu lagi, Kementerian Pendidikan Malaysia sememangnya amat menekankan kepentingan sukan dalam kalangan murid. Di sekolah, ada Pendidikan Jasmani dan Kesihatan yang serba lengkap yang diajarkan oleh guru yang terlatih. Selain itu, sekolah amat menekankan penglibatan murid dalam bidang sukan. \u00a0Untuk tujuan itu, setiap sekolah biasanya menganjurkan Temasya Sukan Tahunan untuk membolehkan murid-murid menampilkan bakat mereka dalam bidang sukan.\nBagi murid yang kurang berkecenderungan dalam bidang sukan pula, Program Sukan Tara dengan acara yang dikenal pasti oleh sekolah wajib disertai oleh semua murid. Selain itu, Program 1 Murid 1 Sukan (1M1S) dilaksanakan supaya semua murid terlibat secara aktif dalam satu aktiviti sukan pilihan mereka sepanjang tahun. Ada kalanya larian merentas desa (cross-country race) turut diadakan untuk para murid yang berminat. Dalam hal ini, pelbagai kemudahan dan peralatan sukan dan permainan disediakan untuk para murid.\nBagi sukan balapan, terdapat acara lumba lari, seperti larian pecut 100 meter, larian jarak pertengahan/sederhana dan larian jarak jauh. Acara lain termasuk larian melompat pagar (hurdles), lari berhalangan (steeplechase), lari berganti-ganti (relay) dan sebagainya. Bagi acara padang, terdapat acara lontar peluru (shot-put), rejam lembing (javelin), lempar cakera (discus), lontar tukul besi (hammer throw) dan sebagainya. Selain itu, terdapat acara lompatan seperti lompat jauh (long jump), lompat tinggi (high jump), lompat kijang (triple jump) dan lompat bergalah (pole vault).\nDari segi permainan yang melibatkan pertandingan pula, terdapat pelbagai jenis permainan seperti sepak takraw, bola tampar (volleyball), bola lisut (softball), bola sepak (football), bola baling (handball), hoki (hockey), boling (bowling), boling padang, petanque, bola keranjang (basketball), badminton, skuasy (squash), pingpong, tenis, gimnastik dan sebagainya.\nBagi sukan renang, terdapat pelbagai acara yang dipertandingkan, termasuk gaya bebas (free style), kuak dada (breast stroke), kuak lentang (back stroke), kuak kupu-kupu (butterfly stroke) dan gaya rampai (medley). Selain itu, terdapat sukan air seperti terjun air (diving), polo air (water\u00a0polo), selam skuba (scuba\u00a0diving), selam bersnorkel (snorkeling), berkayak (kayaking), luncur air (surfing), luncur angin (wind\u00a0surfing), luncur/ski jet (jet\u00a0ski), kembara berakit (whitewater rafting) dan sebagainya.\nBagi mereka yang menggemari aktiviti yang lebih santai dan perlahan, mereka boleh melakukan joging (jogging), taici atau senamrobik. Bagi mereka yang menginginkan aktiviti yang mencabar, mereka boleh mencuba aktiviti seperti mendaki gunung, bermain papan selaju (skateboarding), luncur keluang (flying\u00a0fox, zipline), terjun lelabah (bungee\u00a0jumping), turun cenuram (abseiling), terjun cenuram (cliff\u00a0jumping/diving), panjat batu (rock\u00a0climbing), paralayar (parasailing), geluncur angin (hang-gliding), luncur layang-layang (kite\u00a0surfing), terjun udara (skydiving), terjun tebing (base\u00a0jumping), terjun sut bersayap (winged\u00a0suit\u00a0diving), bermain papan luncur udara\u00a0(flyboarding) dan sebagainya. Aktiviti yang mencabar itu menuntut kekuatan stamina, dan mungkin mengundang bahaya kepada mereka yang terlibat.\nBagi mereka yang ingin terlibat dalam aktiviti yang berkaitan dengan seni pertahanan diri, mereka boleh mencuba silat, silambam, wusyu, kung fu, karate, judo, ninjutsu, tae kwan do, hapkido, akido, Muay Thai,\u00a0sukan tinju dan sebagainya. \u00a0Hal ini menjadikan diri mereka lebih bersedia untuk menghadapi ancaman dan menangkis serangan.\nDalam masyarakat kampung, terdapat pelbagai aktiviti sukan dan permainan untuk memeriahkan suasana dan mengeratkan hubungan. Hal ini termasuk permainan tradisional, permainan rakyat, sukaneka dan permainan moden. Antara permainan tradisional yang melibatkan pergerakan fizikal ialah permainan wau atau layang-layang, permainan tarik upih, permainan galah panjang, permainan gasing, permainan lompat getah, permainan lompat tikus, permainan guli, permainan ketingting, permainan baling/tuju selipar dan sebagainya.\nPermainan rakyat pula termasuk lumba perahu, lumba kerbau, lumba kerbau besi, permainan tibau\u00a0(kaum Melanau), permainan sepak raga, permainan rampanau\u00a0(kaum Dusun), terompah tempurung, dan sebagainya. Bagi sukaneka (telematch) pula, terdapat acara seperti lari dalam guni, imbangkan botol, bergerak dengan batu bata, golekkan bola dengan gelang hula, dan sebagainya.\nKepelbagaian kosa kata dalam bidang sukan membuka mata kita tentang kerencaman kata dan istilah dalam bahasa Melayu yang terkini. Hal ini menggambarkan keluwesan dan keterbukaan bahasa Melayu untuk menyerap unsur asing yang dapat memantapkan dan meningkatkan kewibawaannya. Hampir semua konsep, asing dapat dipinjam atau diterjemahkan untuk digunakan dalam bahasa Melayu supaya bahasa Melayu dapat mengungkapkan pelbagai perkara di dunia yang dilanda arus globalisasi dan modenisasi kini. Selain itu, kesesuaian terjemahan mengikut acuan bahasa Melayu menunjukkan kreativiti dan kewibawaan pihak penterjemah yang berkenaan.\nSatu hal yang menarik ialah bentuk kata asing tertentu. Sebagai contoh, kata kung\u00a0fu\u00a0dieja terpisah sebagai dua perkataan dan kata tae\u00a0kwan\u00a0do\u00a0dieja terpisah sebagai tiga perkataan, sedangkan kebanyakan kata asing tidak dieja sebegitu.\nSelain itu, terdapat akronim pada kata skuba, yang terbit daripada kata scuba\u00a0dalam bahasa Inggeris. Dalam bahasa Inggeris, scuba\u00a0bererti self-contained underwater breathing apparatus. Oleh sebab akronim bahasa Inggeris ini ialah akronim lama, ejaannya adalah dalam bentuk huruf kecil, sama seperti kata radar\u00a0(radio detection and ranging) dan laser\u00a0(light amplifiction by the stimulated emission of radiation). Hal ini tidak seperti akronim baharu bahasa Inggeris yang dieja dengan huruf besar, seperti COVID-19 (coronavirus disease \u2013 19), RAM (Random Access Memory), dan DVD (Digital Versatile Disc). Di samping itu, terdapat akronbim baharu yang dicipta seperti sukaneka\u00a0(sukan + aneka) dan senamrobik\u00a0(senaman + aerobik).\nBagi kata bowling\u00a0dalam bahasa Inggeris, pinjamannya dalam bahasa Melayu ialah boling, iaitu huruf w\u00a0telah ditiadakan. Bagi kata squash\u00a0dalam bahasa Inggeris pula, peminjaman kata tersebut menyebabkan digraf sy\u00a0wujud pada hujung kata, iaitu skuasy, sama seperti kata hasyisy (hashish)." "Pendedahan Ilmu Perkamusan kepada Pelajar Sekolah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSabah \u2013 Program Ceramah Bersahabat dengan Kamus (BdK) Siri 1 telah berjaya dilaksanakan bersempena dengan Bazar Ilmu DBP di SK Pekan Telupid. Ceramah tersebut disampaikan oleh Puan Julianah Kuli, dari Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.\nSiri ceramah Bdk ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada 57 orang pelajar Tingkatan 3 hingga Tingkatan 6 yang terdiri daripada pelajar SMK Telupid, SMK Entilibon dan SMK Penangah, serta enam orang guru pengiring.\nProgram tersebut diadakan sebagai nilai tambah kepada para pelajar dalam meningkatkan ilmu tentang perkamusan dan kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat khususnya bagi pencinta bahasa Melayu\nAntara objektif lain program ini termasuklah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar tentang fungsi kamus, cara menggunakan kamus dengan betul dan memberikan maklumat bahawa DBP menerbitkan pelbagai kamus ekabahasa, kamus dwibahasa, kamus istilah dan kamus bahasa sukuan, sekali gus membantu meningkatkan jualan kamus dan buku terbitan DBP." "Pertandingan Jaguh Jawi Memartabatkan Tulisan Jawi di Sabah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSabah \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah telah mengadakan Pertandingan Jaguh Jawi di SK Pekan Telupid dan SK Pekan Beluran, yang menjadi tuan rumah bagi program Bazar Ilmu DBP, yang bermula pada 8 Mei hingga 11 Mei 2023.\nHampir 60 penyertaan diterima daripada sekolah-sekolah yang ada di daerah Telupid dan Beluran, yang membuktikan bahawa usaha memartabatkan tulisan Jawi sebagai satu sistem tulisan warisan bahasa Melayu wajar diteruskan bermula dari peringkat sekolah rendah.\nPertandingan Jaguh Jawi yang bermatlamat untuk menguji kebolehan dan kemahiran para peserta mengeja dan menulis Jawi, telah diadakan secara tiga peringkat. Hanya enam orang peserta terpilih yang layak ke peringkat akhir. Peringkat pertama ialah Kuiz Huruf Vokal Jawi, manakala pada peringkat kedua pula ialah Kuiz Kosa Kata dan peringkat akhir ialah Anagram Jaguh Jawi.\nSelain itu, pertandingan ini JUGA bersifat interaktif apabila menggunakan platform Wordwall, iaitu sebuah permainan secara dalam talian. Hal ini juga bertujuan untuk menarik minat dan membuka ruang khususnya kepada para pelajar dari sekolah pedalaman di Sabah untuk terus mempelajari tulisan Jawi.\nDewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah akan terus berinisiatif dalam melaksanakan pelbagai program yang memfokuskan tulisan Jawi supaya tulisan ini terus hidup dan berkembang khususnya di Sabah." "Tulisan Jawi dalam Peradaban Melayu Nusantara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPattani \u2013 Dato\u2019 A. Aziz Deraman, Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) dalam ucaptama Seminar Kaedah Tulian Jawi Fatoni, \u201cTulisan Jawi dalam Peradaban Melayu Nusantara\u201d menyokong agar satu pasukan pakar Jawi ditubuhkan dalam kalangan ilmuwan di Selatan Thailand, dengan mendapatkan kerjasama daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Malaysia.\nSeminar Kaedah Tulisan Jawi Fatoni ini telah diadakan pada awal bulan Mei lalu di ASEAN Mall, Patani, Thailand, dan dianjurkan oleh Pusat Kajian Tamadun Melayu Islam Universiti Fatoni (PUSTANI) dan Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), dengan kerjasama ASEAN Mall, Pattani, Thailand.\nKumpulan pakar ini ditubuhkan bertujuan untuk menyelaraskan sistem ejaan Jawi untuk diterima pakai di lima wilayah utama masyarakat Islam di Thailand. Usaha penyelarasan ini penting agar satu keseragaman dapat dibuat sebelum sistem ejaan Jawi ini dimantapkan, diperkasakan dan disebarkan di wilayah berkenaan.\nAhmad Fathi al-Fatoni yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dalam pembentangannya yang bertajuk \u201cKepentingan Kaedah Tulisan Jawi\u201d mengatakan bahawa tindakan pantas perlu segera diambil agar tulisan Jawi dilihat bernilai oleh generasi muda terutamanya.\nSenario di Thailand dan Malaysia seakan-akan sama apabila Jawi seakan-akan tidak mahu \u201chidup\u201c apabila dipandang tidak mempunyai nilai ekonomi apatah lagi nilai komersial. Hal ini berlaku apabila banyak dalam kalangan ahli masyarakat pada hari ini sudah tidak megah akan tulisan Jawi dan segan untuk membaca apatah lagi menulis menggunakan huruf Jawi.\n\u00a0\nPensyarah Universiti Fatoni, Dr. Suraiya Ibrahim Chapakiya pula membentangkan dan mengulas perihal buku kajian dan tulisannya yang diterbitkan oleh DBP, Malaysia yang bertajuk Kaedah Ejaan Jawi Patani: Sebuah Buku Panduan Menulis Jawi. Beliau memperakukan bahawa buku yang ditulis sejak tahun 2016 ini telah dirujuk kepada pakar Jawi di Thailand dan Malaysia.\nSeminar ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Puan Fatimah Sadiyamu, Gabenor Wilayah Pattani dan dihadiri oleh 130 orang peserta yang terdiri dalam kalangan pensyarah universiti, guru dan pelajar pondok, guru sekolah, pihak majlis agama dan penulis persendirian yang sentiasa memberikan sokongan terhadap usaha membudayakan Jawi kepada masyarakat." "Jawi Tiada Nilai Ekonomi? \u2013 Ahmad Fathi Al-Fatoni\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPattani \u2013 Bermasalah dengan tulisan Jawi? Demikian tujahan yang dipersoalkan oleh Ustaz Ahmad Fathi Al-Fatoni, wakil Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sewaktu pembentangan dasar dalam Seminar Kaedah Tulisan Jawi Fatoni, yang berlangsung di ASEAN Mall, Pattani awal Mei 2023 lalu.\nBeliau beranggapan bahawa masalah Jawi bukan dengan kaedah penulisannya. Menurut beliau, \u201cKita telah ada sejak dulu, iaitu sistem ejaan Jawi kitab, kemudian sistem ejaan Jawi Za\u2019ba dan terkini Sistem Ejaan Jawi Diperbaharui yang diselaraskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia\u2019.\nTambah beliau, punca sebenar masalah Jawi ialah tidak laku dijual lantaran tiada nilai ekonomi (berbanding dengan tulisan Rumi dan bahasa Thai). Sekiranya bernilai, ejaan Jawi akan diambil peduli dan diguna pakai secara menyeluruh yang meliputi dalam negara bahkan merentas Alam Melayu Islam Nusantara.\nTambah Ustaz Ahmad Fathi, \u201cDahulu wujud pelbagai wahana penulisan dalam tulisan Jawi seperti buku, surat khabar, majalah Mastika dan Dian. Majalah ini bermula dengan tulisan Jawi, kemudian bertukar kepada tulisan Rumi. Akhirnya, penerbitan kebanyakan majalah seperti Dian tidak lagi dapat diteruskan.\nSehubungan dengan itu, sebagai seorang daripada mantan editor majalah Pengasuh, beliau amat mengagumi majalah Pengasuh terbitan MAIK, yang terus kukuh bertahan lebih satu abad yang mengekalkan tulisan Jawi sejak tahun 1918 hingga ke hari ini.\nUstaz Ahmad Fathi Al-Fathoni turut menyarankan beberapa langkah untuk menyelesaikan kekusutan masalah Jawi. Antaranya termasuklah mengekalkan kaedah ejaan bagi perkataan yang berasal daripada bahasa Arab.\nSelain itu, beliau menyarankan hasil pakar Jawi dikumpulkan, dibengkelkan dan diselaraskan pemahaman dan kaedah ejaan Jawi mereka. Mereka inilah yang akan terus mengembangkan dan mempertahankan tulisan Jawi sebagaimana ulama silam Alam Melayu yang begitu gigih menjaga tulisan Jawi melalui penulisan kitab.\nBeliau juga menyeru agar tulisan Jawi terus dimartabatkan dan menyarankan agar menjadikan Kelantan dan Patani sebagai kubu terakhir tulisan Jawi di Nusantara.\nSeminar anjuran Pusat Kajian Tamadun Melayu Islam Universiti Fatoni (PUSTANI) dan Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) ini menggagaskan resolusi seperti yang berikut:" "Diplomasi Bahasa Mengutamakan Keharmonian\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Diplomasi bahasa merupakan satu panduan dan strategi perundingan antara dua atau lebih individu dengan menggunakan kebijaksanaan, yakni bertujuan untuk mengembangkan bahasa dengan bijaksana secara lisan ataupun tulisan.\nDiplomasi bahasa juga merangkumi pelbagai aspek yang melibatkan pertuturan dan bahasa badan. Diplomasi bahasa juga dikatakan tidak menganjurkan kekerasan yang melibatkan pertelingkahan, namun lebih mengutamakan keharmonian. Hal ini turut dijelaskan secara terperinci oleh Prof. Madya Dr. Salmah Jan Noor Mohammad, yang juga pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia dalam program temu bual, Cakna Bahasa anjuran BERNAMA Radio baru-baru ini.\nKekuatan bahasa Melayu itu sebenarnya sudah terbukti sebagai bahasa antarabangsa apabila diangkat sebagai lingua franca pada abad ke-17. Bahasa Melayu digunakan dalam bahasa diplomatik, bahasa perdagangan, bahasa ilmu dan penyebaran agama.\nMenurut beliau, diplomasi bahasa merupakan satu panduan perundingan bagi melahirkan satu situasi keharmonian bagi masyarakat Malaysia MADANI. Berdasarkan kajian yang beliau pernah jalankan, diplomasi bahasa boleh dikategori kepada dua medium utama. Pertama, secara lisan dan yang kedua secara tulisan.\nDiplomasi bahasa secara lisan diterjemahkan melalui utusan ataupun pada hari ini dikenali sebagai duta, manakala diplomasi bahasa dalam tulisan pula boleh dilihat melalui aspek warkah Melayu. Beliau turut menegaskan bahawa dalam struktur warkah Melayu terdapat diplomasi bahasa yang digunakan sebagai kekuatan untuk berhubungan dengan kerajaan luar.\n\u201cTerjemahan daripada warkah ini adalah untuk menjaga aib ataupun air muka, memberikan pengiktirafan dan membina persefahaman. Bahasa Melayu itu terjelma dengan adanya sifat rendah hati, ungkapan yang indah dan puitis yang ditulis oleh jurutulis istana\u201d, tambah beliau lagi.\nSelain itu, beliau turut mengupas perihal peranan juruhebah dalam mempraktikkan panduan diplomasi bahasa. Beliau berkata, \u201cJuruhebah ini diberikan satu anugerah daya penarik seperti boleh menjadi pempengaruh kepada masyarakat. Boleh dikatakan, juruhebah ialah duta diplomasi bahasa dan juga menjadi \u201cjendela\u201c untuk masyarakat mengenal tamadun bangsanya\u201d.\nKata kunci kepada diplomasi bahasa ialah keharmonian. Jika suatu perkara yang tegang itu kita dapat kawal dan mencari solusinya dengan diplomasi bahasa, maka kita dapat mengendurkan ketegangan tersebut. Jadi, dengan adanya diplomasi bahasa, masyarakat juga terbimbing untuk berkomunikasi dengan baik.\u201d\nPada akhir temu bual, beliau sempat menyatakan bahawa diplomasi bahasa sangat membantu dalam kehidupan seharian selain berupaya membantu seseorang itu berbahasa dan berkomunikasi dengan baik. Di smaping itu juga dapat menampilkan kredibiliti dan mempamerkan takat keintelektualan seseorang.\nBeliau turut berpesan supaya jangan bersikap pesimis sekiranya menghadapi individu yang tidak berbahasa dengan baik terhadap kita. Ujar beliau, \u201cKita perlu kekal mempraktikkan diplomasi bahasa kerana bukan sahaja dapat menonjolkan kewibawaan seseorang, malah dapat mencerminkan kewibawaan bangsa dan sesebuah negara\u201c." "Apresiasi Bahasa dan Sastera Tarik Minat Pelajar Antarabangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAlor Setar \u2013 Kehadiran pelajar antarabangsa menyerikan lagi program Apresiasi Bahasa dan Sastera, yang diadakan bersempena dengan Hari Bahasa Melayu di Auditorium dan Perpustakaan Universiti Antarabangsa AlBukhary (AIU) semalam. Secara tidak langsung, program tersebut berjaya menarik minat pelajar antarabangsa untuk sama-sama memeriahkan lagi program yang adakan.\nPelbagai program yang menarik telah disusun dari peringkat prasekolah, kanak-kanak, remaja dan mahasiswa. Antaranya termasuklah program Seronoknya Membaca, Pertandingan Lagu Puisi Remaja dan Malam Bahasa Jiwa Bangsa.\n\u201cPada sebelah pagi diadakan program Seronoknya Membaca yang meliputi Pertandingan Mewarna, Pertandingan Bercerita (Tahap 1) dan Pertandingan Pidato (Tahap 2). Pada sebelah petang pula diadakan Pertandingan Lagu Puisi Remaja dan diikuti dengan Malam Bahasa Jiwa Bangsa,\u201d ujar Puan Roziah Md Yunus, Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika diwawancara.\nProgram pada malam tadi, iaitu Malam Bahasa Jiwa Bangsa pula diserikan lagi dengan kehadiran Puan Norpisah Md Isa, Pendaftar AIU.\nSementara itu, Prof. Madya Dr. Tengku Shahrom Tengku Shahdan, Dekan Sekolah Pendidikan dan Sains Kemanusiaan, AIU, dalam ucapan perasmian menzahirkan rasa terujanya terhadap program rintis ini.\n\u201cSaya berharap agar program ini dapat dijadikan sebagai program tahunan di AIU,\u201d ujar beliau.\nProgram Apresiasi Bahasa dan Sastera dianjurkan oleh DBP dengan kerjasama AIU bertujuan untuk mempersegar dan memperkasakan bahasa kebangsaan melalui kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan dalam usaha menanam sikap megah berbahasa Melayu dalam kalangan pelajar." "Kata dalam Bahasa Inggeris dengan Bentuk Akhir -tion\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPertembungan antara bahasa Melayu dengan bahasa lain menyebabkan wujudnya kata pinjaman atau terjemahan yang pelbagai dalam bahasa Melayu. Hal ini amat ketara dalam hal bahasa Inggeris. Antara kata yang dipinjam atau dipinjam terjemah termasuklah kata bahasa Inggeris yang berakhir dengan bentuk akhir -tion.\nBanyak kata bahasa Inggeris (bI) yang berakhir dengan bentuk -tion\u00a0diterima sebagai kata pinjaman yang berakhir dengan bentuk -si. Sila lihat contoh yang berikut:\n\u00a0\nAda juga antara kata bI yang berakhir dengan -tion\u00a0diterjemahkan kepada bahasa Melayu. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\nAda kata bI yang berakhir dengan -tion\u00a0diterima sebagai kata pinjaman daripada bahasa Indonesia Belanda dan juga diterjemahkan kepada bahasa Melayu. Sila lihat contoh yang berikut:\n\u00a0\nAda kata bI yang berakhir dengan -tion diterima sebagai kata pinjaman dan diterjemahkan sekali gus kepada bahasa Melayu. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\nAda kata bI yang berakhir dengan -tion\u00a0diterima sebagai kata pinjaman dan mempunyai lebih daripada satu bentuk terjemahan, bergantung pada konteks penggunaan kata tersebut dalam ayat yang berkenaan. Sila lihat contoh yang berikut:\n\u00a0\nAda kata bI yang berakhir dengan -tion\u00a0yang mempunyai lebih daripada satu bentuk terjemahan, bergantung pada konteks penggunaan kata tersebut dalam ayat yang berkenaan. Sila lihat contoh yang berikut:\n\u00a0\nAda kata bI yang berakhir dengan -tion\u00a0yang diterima sebagai kata pinjaman dalam bentuk tertentu pada peringkat awal kemerdekaan negara, dan bentuk ejaan tersebut dikekalkan hingga kini. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n\u00a0\nAda kata bI yang berakhir dengan -tion\u00a0yang disalah pinjam oleh sesetengah pihak, dan kata tersebut sebenarnya mempunyai terjemahan yang sesuai dalam bahasa Melayu. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n\u00a0\nSatu hal yang menarik ialah kata graduation\u00a0dalam bahasa Inggeris. Maksud graduation\u00a0dalam bahasa Inggeris ialah \u201cthe receiving or conferring of an academic degree or diploma\u201d, iaitu \u201cpenerimaan atau penganugerahan ijazah atau diploma\u201d. \u00a0Oleh sebab hal sedemikian, kata graduation\u00a0hanya berkaitan dengan pusat pengajian tinggi seperti universiti, dan tidak berkaitan dengan tadika, sekolah rendah atau sekolah menengah.\nSelain itu, ada pihak yang meminjam kata graduation\u00a0sebagai graduasi\u00a0dalam bahasa Melayu.\u00a0Walaupun hal tersebut menepati rumus bentuk pinjaman sesetengah kata pinjaman yang ada bentuk akhir -tion, kata tersebut sebenarnya tidak menjadi bentuk pilihan dalam bahasa Melayu, dan tidak wujud dalam kamus. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a. \u00a0A graduation ceremony will be held at the kindergarten tomorrow.\n1b. \u00a0*Majlis Graduasi Tadika akan diadakan di tadika itu esok.\n1c. \u00a0Majlis Tamat Pendidikan Tadika akan diadakan di tadika itu esok.\n\u00a0\n2a. \u00a0A graduation ceremony will be held at the primary school tomorrow.\n2b. \u00a0*Majlis Graduasi Sekolah Rendah/Tahun 6 akan diadakan di sekolah\nrendah itu esok.\n2c. \u00a0Majlis Tamat Persekolahan Sekolah Rendah/Tahun 6 akan diadakan di\nsekolah rendah itu esok.\n\u00a0\n3a. \u00a0A graduation ceremony will be held at the secondary school tomorrow.\n3b. \u00a0*Majlis Graduasi Sekolah Menengah/Tingkatan 5 akan diadakan di\nsekolah menengah itu esok.\n3c. \u00a0Majlis Tamat Persekolahan Sekolah Menengah/Tingkatan 5 akan\ndiadakan di sekolah menengah itu esok.\n\u00a0\n4a. \u00a0A graduation ceremony will be held at the university tomorrow.\n4b. \u00a0*Majlis Graduasi akan diadakan di universiti itu esok.\n4c. \u00a0Majlis Konvokesyen akan diadakan di universiti itu esok.\n\u00a0\nSatu lagi perkara yang sering mengelirukan sesetengah pengguna bahasa Melayu ialah perbezaan antara kata mahasiswa/mahasiswi, graduan\u00a0dan siswazah. \u00a0Sebenarnya, kata mahasiswa/mahasiswi atau\u00a0undergraduate (bI) merujuk pelajar yang sedang mengikuti kursus peringkat siswa di universiti, kata graduan atau\u00a0graduand (bI) merujuk mahasiswa atau mahasiswi yang akan menerima ijazah pada hari konvokesyen, dan kata siswazah\u00a0atau graduate\u00a0(bI) pula merujuk lulusan atau lepasan universiti." "Ayat yang Gramatis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nAyat yang seperti di bawah sering kita temukan dalam rencana, majalah atau buku. Persoalannya ialah adakah ayat ini tidak gramatis?\nDidapati bahawa lebih banyak spesies di seluruh dunia sedang berhijrah ke kawasan yang lebih sejuk.\n\u00a0\nDaripada:\nYap Siew Fen" "Bahasa \u201cMenjual Diri\u201d yang Baik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKELANTAN \u2013 Aspek komunikasi yang berkesan merupakan antara kriteria yang memainkan peranan yang penting dalam sesi temu duga. Bahasa yang digunakan oleh calon haruslah berjaya memikat panel agar komunikasi berjalan dengan lancar. Calon harus menjawab soalan secara jelas dengan memilih kata dan ayat yang sesuai.\n\nSehubungan dengan itu, bahasa yang baik perlu dikuasai dan digunakan oleh calon ketika sesi temu duga termasuklah semasa permulaan bicara, iaitu memperkenalkan diri dengan menggunakan bahasa yang baik, tepat, santun dan sopan. Pertuturan mestilah jelas dan mudah difahami oleh panel. Calon juga haruslah menggunakan kata panggilan atau sapaan yang tepat dan bersesuaian. Sekiranya tidak dapat menjawab soalan yang diajukan, calon perlu memohon maaf kepada panel secara sopan.\nBahasa lisan merupakan pancaran idea atau pemikiran seseorang kepada seseorang yang lain. Bahasa yang digunakan akan mempamerkan penampilan diri dan aura diri, mempamerkan kebolehan pemikiran analitis, kritikal dan kreatif. Bahasa juga mempamerkan kemahiran dan ketokohan diri seseorang.\nDalam sesi temu duga, bahasa badan turut memainkan peranan yang penting. Penemu duga akan melihat bahasa badan calon dan akan memadankannya sama ada apa-apa yang diungkapkan itu selari dengan bahasa badannya. Dalam sesi temu duga, calon mungkin bersungguh-sungguh menyatakan betapa dirinya berminat dengan tawaran kerja yang diiklankan. Namun begitu, bahasa badan calon pula menyatakan sebaliknya. Apabila penemu duga keliru kerana bahasa badan dan bahasa lisan yang tidak selari, peluang calon untuk meyakinkan panel penemu duga akan menjadi tipis.\nPeranan bahasa badan termasuklah mimik muka, pergerakan badan dan anggota badan yang lain. Contohnya, menjaga adab dan sentiasa senyum kepada sesiapa sahaja serta menjaga kedudukan postur badan semasa berdiri, duduk dan berjalan. Keadaan calon yang tidak selesa akan membuatkan penemu duga merasakan bahawa calon tidak bersedia dan tidak selesa untuk ditemu duga.\n\u201cTulisan yang ditulis juga hendaklah jelas dan mudah dibaca oleh orang lain. Ketika menulis resume atau biodata, calon hendaklah menggunakan perkataan yang sesuai dengan jawatan yang dimohon kerana penampilan diri akan terserlah melalui penulisan biodata dan hasrat.\u201d\nDemikianlah antara penerangan oleh Dr. Abdullah Yusoff, Pengarah Eksekutif, Akademi Minda Kreatif, iaitu pembicara bagi program \u201cWacana Ilmu 2021: Bahasa dalam Temu duga\u201d yang bersiaran secara langsung pada pukul 9.30 pagi tadi yang dilaksanakan secara dalam talian. Wacana ini anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur bersama-sama Akademi Minda Kreatif." "BITU, Pejabat SUK Kelantan Bersedia Jalinkan Kerjasama Kebahasaan dengan DBPWT\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) mengadakan kunjungan hormat dan perbincangan dengan Bahagian Integriti dan Tadbir Urus (BITU), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK), Kelantan, pada hari ini. Perbincangan selama sejam ini diketuai oleh Puan Ariza Che Ismail, Pengarah DBPWT bersama-sama pegawai kanan DBPWT.\nKunjungan ini bagi membincangkan perancangan pihak DBPWT bagi melaksanakan Pertandingan Pidato Sektor Awam Piala Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun ini. Hasrat DBPWT ini disambut baik oleh wakil Pengarah BITU, Puan Nik Nur Syazwani Nik Yahya, Penolong Pengarah Kanan BITU,\u00a0 beberapa orang pegawai BITU dan wakil daripada Bahagian Korporat dan Bahagian Khidmat Pengurusan, Pejabat SUK Kelantan.\nPuan Nik Nur Syazwani Nik Yahya menyatakan bahawa BITU pernah menganjurkan pertandingan pidato pada peringkat sekolah di Kelantan. Sehubungan dengan itu, pertandingan pidato untuk peringkat sektor awam di Kelantan ini wajar diadakan bagi memberikan ruang kepada penjawat awam membina keyakinan diri dan berketerampilan dalam mengemukakan idea, pandangan serta mengungkapkan buah fikiran dengan baik dan berkesan. Melihat kepada kewajaran program ini dilangsungkan, pihak BITU bersedia untuk mencadangkan pelaksanaan program ini kepada pihak atasan SUK bagi mendapatkan sokongan.\nPuan Ariza Che Ismail, dalam ucapan balas beliau pula amat berharap agar pertandingan pidato ini dapat dilaksanakan sebagai wadah khusus kepada peserta atau penjawat awam untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Melayu. Selain itu, pertandingan pidato turut dapat melahirkan penjawat awam yang petah berkomunikasi, kreatif dan mampu menyampaikan idea dengan baik dan lebih berkesan kepada khalayak.\nPelaksanaan pidato ini sebagai satu usaha memupuk sikap bertanggungjawab setiap individu dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu. Pidato juga dapat meningkatkan kemahiran sosial serta membina modal insan yang berintegriti, berilmu, berdaya saing, bersahsiah tinggi dan berkuali.\nPihak BITU juga amat berterima kasih atas kunjungan hormat daripada pihak DBPWT dan mengharapkan lebih banyak kerjasama dapat dijalinkan seperti pelaksanaan kursus dengan pihak Akademi DBP, dan aktiviti pameran buku terbitan DBP dalam program Pejabat SUK Kelantan pada masa akan datang.\nKerjasama sebegini amat wajar kerana sebelum ini Pejabat SUK Kelantan telah memberikan kerjasama dalam menjayakan beberapa program besar dengan DBPWT seperti Anugerah Sastera Kelantan 2015 dan 2019/2020, Bulan\u00a0 Bahasa Kebangsaan, Dekad Bahasa Kebangsaan dan Kembara Bahasa." "Pemerkasaan Bahasa, Sastera dan Budaya Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKekuatan sebuah bangsa dan negara banyak bergantung pada pembangunan bahasa, sastera dan budaya. Usaha memperkasakan bahasa, sastera dan budaya ini akan mengukuhkan perpaduan kaum dan rakyat dalam sebuah negara yang kukuh perpaduannya seperti hasrat kerajaan Malaysia MADANI.\nBahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan mampu menyatupadukan semua kaum di Malaysia. Begitu juga dengan sastera dan budaya kebangsaan yang wajar diperjuangkan bagi perpaduan kaum dan masyarakat. Pelbagai acara boleh dilaksanakan yang bertujuan untuk menyatupadukan penduduk di negara ini. Generasi muda juga wajar terlibat dalam memperkasakan usaha ini.\nApa-apa juga usaha bagi memperkasakan bahasa, sastera dan budaya bukan hanya terletak di bahu orang perseorangan atau menjadi tanggungjawab persatuan penulis dan persatuan budaya, malah menjadi tugas kerajaan negeri dan kerajaan pusat dengan menyumbang dana sebagai langkah mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini.\nJika dikaji, usaha ini sebenarnya telah lama dilaksanakan oleh kerajaan sejak selepas merdeka, namun tidak berfokus pada perpaduan. Tambahan pula, apabila dasar berubah dan apabila kerajaan bertukar menyebabkan bidang bahasa, sastera dan budaya sudah hilang arah tujuannya.\nDi bawah kerajaan perpaduan dan Malaysia MADANI, yang patut difokuskan ialah bidang bahasa, sastera dan budaya yang sebenarnya mampu mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum apabila bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dapat memacukan sastera dan budaya daripada pelbagai etnik dan budaya.\nSebagai asas penting, pendidikan di sekolah juga mampu memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan serta sastera dan budaya dapat membentuk akal budi generasi muda ke arah membina tamadun bangsa yang perkasa dan bermaruah. Usaha ini mestilah diteruskan pada peringkat universiti dan masyarakat.\nDalam pembinaan tamadun bangsa, penggunaan bahasa dan tulisan penting bagi memacukan perkembangan ilmu untuk menghadapi perubahan dari semua aspek kehidupan. Pembinaan kota dan bandar \u00a0sebagai menampung pertumbuhan penduduk sedia ada mampu menjalankan aktiviti yang berkaitan dengan bahasa, sastera dan budaya.\nLantaran itu, usaha perlu digerakkan dan dilakukan bagi mewujudkan keseimbangan rohani dan jasmani bagi membentuk sebuah masyarakat yang cinta akan bahasa, sastera dan budaya, yang seterusnya melahirkan kegiatan bahasa, sastera dan budaya yang sihat di samping kejayaan ekonomi desa dan bandar.\nSumbangan bahasa, sastera dan budaya sangat penting dalam membangunkan tamadun bangsa,\u00a0 iaitu dengan pegangan agama yang kuat, sistem kenegaraan yang tersusun rapi, kegiatan bahasa, sastera dan budaya yang segar, pemacuan kehidupan bandar, pencapaian kaedah penulisan moden dan tinggi dan kepakaran dalam bidang seni lukis, seni reka dan budaya maju.\nIroninya, budaya merangkumi suatu cara hidup yang berkembang maju dalam kehidupan dengan perpaduan dan memiliki bersama sebuah kelompok orang yang diwariskan daripada generasi kepada generasi dan \u00a0juga dibentuk daripada pelbagai unsur, iaitu kerjasama, penyatuan dan pemahaman termasuklah sistem agama, politik, adat istiadat, bahasa, sastera karya seni dan budaya yang merupakan bahagian tak terpisah daripada diri manusia.\nKejayaan ini akan merangkumi semua aspek kemajuan dalam masyarakat Malaysia MADANI. Seperti pandangan Ibn Khaldun, iaitu \u201chadarah\u201d yang bermaksud kemajuan akal budi, seni budaya, wilayah, daerah, kota, bandar, kampung atau tanah yang diusahakan ke arah kemajuan. Lantaran itu, semuanya meliputi kemajuan bahasa, sastera dan budaya fizikal dan spiritual serta intelektual suatu bangsa dan masyarakat dalam sebuah kerajaan perpaduan.\nOleh itu, bagi memacu kemajuan bahasa, pendidikan di sekolah mestilah diperkasakan dengan terus menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan.\nDi bawah pentadbiran kerajaan perpaduan dan Malaysia MADANI, pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan bahasa dan sastera boleh dilakukan sebagai langkah pendidikan awal di sekolah dengan pembacaan karya yang bermutu, pembacaan sajak, pantun, gurindam dan syair melalui pertandingan pada peringkat sekolah, daerah, negeri dan negara.\nYang paling diutamakan, budaya berfikir dalam memacukan ilmu perlulah bermula di rumah melalui pendidikan oleh ibu bapa dan diteruskan di sekolah oleh guru melalui pendidikan bahasa, sastera dan budaya dengan fakta ilmu yang berkaitan dengan bidang ini. Budaya ini juga mesti disemai pada peringkat sekolah bagi mengeratkan perpaduan kaum dengan menggunakan maklumat dan pengetahuan untuk kejayaan hidup dalam masyarakat dan negara.\nAnugerah Sasterawan Negara (ASN), Anugerah Tokoh Bahasa dan Tokoh Seni dan Budaya Negara wajar diteruskan bagi bagi mengangkat martabat dan menyanjung perjuangan mereka yang bergiat dalam ketiga-tiga bidang ini pada peringkat negara tanpa mengira bangsa dan etnik.\nBagi memperkasakan bahasa dan sastera dan budaya, janganlah hanya mengharapkan usaha badan penulis seperti Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan badan gabungan di negeri-negeri atau Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) serta badan dan pertubuhan budaya, teater dan seni di seluruh negara. Persatuan bahasa, sastera dan budaya ini memang akan terus memperjuangkan perjuangan ini.\nMasyarakat wajar terlibat sama dalam menjayakan aktiviti yang dianjurkan oleh badan dan pertubuhan ini bagi memperkasakan perpaduan dalam kalangan masyarakat dan juga negara. Kota Buku dan kempen membaca wajar ditingkatkan dalam kalangan masyarakat bagi meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam kehidupan.\nJusteru itu, dasar sosial dan budaya telah lama dibentuk untuk membawa kemakmuran dan kesejahteraan dan seterusnya mampu membawa kemajuan dan pembangunan negara. Dasar ini diwujudkan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai budaya yang juga menjadi hasrat kerajaan Malaysia MADANI.\nPara pemikir, pengkaji dan pembuat dasar ini telah memikirkan bahawa dasar ini dibentuk sebagai panduan untuk membentuk dan melaksanakan \u00a0dan mengekalkan identiti negara \u00a0yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum. Lantaran itu, usaha ini perlu diteruskan dan dimantapkan di bawah kerajaan perpaduan dan Malaysia MADANI. Setiap kementerian mestilah berusaha ke arah memajukan bahasa, sastera dan budaya kebangsaan.\nSetiap ahli masyarakat juga mestilah memahami tiga prinsip penerimaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK), yang telah diterima melalui perhimpunan Kongres Kebudayaan Kebangsaan, yang diadakan pada tahun 1971. Pertama, prinsip itu berteraskan kebudayaan rakyat asal negara ini. Yang kedua, unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar dan yang ketiga, Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan.\nObjektif dan peranannya sangat jelas, iaitu mewujudkan kebudayaan bersifat Malaysia bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat dan negara, memupuk dan memelihara identiti kebangsaan. Selain itu, mempertingkatkan kualiti kehidupan kemanusiaan dan kerohanian yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi dan sosiobudaya.\nImplikasi dan tujuan pelaksanaan dasar ini menjadi garis panduan dalam membentuk serta mewujudkan satu bangsa yang bersatu padu \u00a0serta mengekalkan identiti negara dalam kalangan dunia antarabangsa, selain mampu memupuk kesedaran \u00a0dan kefahaman tentang budaya kebangsaan. Kesedaran inilah yang perlu ditekankan dan diwujudkan dalam kalangan masyarakat.\nAkhirnya, setiap usaha ini dapat menjalinkan kerjasama yang erat dan memberikan kesedaran dalam kalangan semua pihak termasuklah para pemimpin yang ikhlas untuk membentuk jati diri dan akal budi bangsa Malaysia yang cinta akan bahasa, sastera dan budayanya. Oleh itu, usaha memperkasakan bahasa, sastera dan budaya kebangsaan mestilah dilaksanakan dan diteruskan sepanjang masa oleh semua pihak.\n\u00a0\nDr. Aminudin Mansor \u2013 Aktivis bahasa,\u00a0sastera dan budaya." "Marilah Sama-sama Meriahkan Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Negeri Kelantan 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKota Bharu \u2013Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Kolej Vokasional Bachok dan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, serta pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan di Kelantan akan mengadakan Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Negeri Kelantan 2023 pada 20 Mei dan 21 Mei 2023.\nFestival tersebut akan diadakan di Kolej Vokasional Bachok, Kelantan, yang akan bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 11.00 malam. Majlis perasmian festival akan disempurnakan oleh Yang Berhormat Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia pada 20 Mei 2023 (Sabtu), pukul 3.00 petang di Dewan Sri Harmoni, Kolej Vokasional Bachok, Kelantan.\nProgram ini diadakan bertujuan untuk memupuk minat dan kecintaan masyarakat terhadap bahasa dan sastera bagi melahirkan modal insan yang kritis dan kreatif, berketerampilan, berkeyakinan tinggi serta kukuh nilai jati dirinya.\nPelbagai acara menarik akan diadakan sepanjang program berlangsung seperti Ekspresi Muzik Jalanan (pertandingan lagu puisi dan lagu ciptaan), Pertandingan Dikir Barat dan persembahan Malam Bahasa Jiwa Bangsa, yang akan menampilkan barisan pendikir barat Kelantan dan kumpulan dikir barat Sound Creative, juara Pertandingan Dikir Barat Kebangsaan 2022 anjuran RTM, wayang kulit, lagu rakyat atau daerah dan deklamasi puisi oleh pendeklamator dan penyair terkenal Kelantan.\nSelain itu, akan diadakan juga Bimbingan Penulisan Sastera Komunikatif, Bimbingan dan Penghayatan Puisi, Bimbingan Teknik Bercerita, Majalah dalam Kelas, Jejak Bahasa, Semarak Jawi, Pertandingan Tazkirah Bahasa, Sembang Orang Muda, Eksplorasi Bahasa, Bicara Buku Penulis Siam Kelantan dan Riang Ria Bahasa. Pihak DBP juga akan mengadakan pameran dan jualan buku DBP dengan diskaun yang istimewa.\nSepanjang festival juga akan diadakan Pemeriksaan Kesihatan, Jualan Komersial, Pameran Agensi Kerajaan, Pameran Pendidikan dan Pameran Kerjaya. Oleh itu, datanglah beramai-ramai bersama-sama keluarga bagi memeriahkan Festival Bahasa dan Sastera Kelantan 2023. Ayuh kita hadir sebagai tanda kasih dan sokongan penuh kepada bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa negara, bahasa pemersatu, bahasa ilmu, bahasa ekonomi dan bahasa pembina peradaban warga dan negara Malaysia.\nSementara itu, Puan Ariza Che Ismail, Pengarah DBPWT dalam temu bual semasa siaran langsung di RTM Kelantan pada 16 Mei 2023 yang lalu amat mengharapkan kehadiran pengunjung ke festival ini khususnya masyarakat tempatan. Ujar beliau, \u201cTunjukkan sokongan kepada DBP dalam usaha untuk menyemarakkan penggunaan bahasa Melayu yang betul. Bersama-samalah kita memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan demi kelestarian bangsa dan negara Malaysia yang tercinta\u201c." "Penulisan Minit Mesyuarat yang Betul\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Baru-baru ini, Akademi DBP telah mengadakan Kursus Penulisan Minit dan Pengurusan Mesyuarat secara berpakej di M Resort & Hotel Kuala Lumpur, yang melibatkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).\nKursus yang dijalankan secara bersemuka ini bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 1.00 tengah hari tersebut bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dalam penulisan minit dan pengurusan mesyuarat dalam kalangan staf MATRADE.\nKursus yang menampilkan seorang penceramah yang berpengalaman dalam bidang hal ehwal mesyuarat, iaitu Encik Abdul Karim Abu Bakar turut dihadiri oleh 20 orang peserta yang terdiri daripada staf MATRADE.\nEncik Abdul Karim Abu Bakar memulakan perkongsian kursus yang pertama dengan menekankan beberapa perkara penting dalam minit mesyuarat. Antara perkara penting dalam penulisan minit mesyuarat termasuklah memastikan senarai kehadiran ditulis mengikut kekananan jawatan, perkara penting yang dibincangkan dalam mesyuarat haruslah disusun mengikut tajuk dan perkara dan sebarang keputusan yang dibuat semasa mesyuarat hendaklah dicatat dengan jelas.\nBeliau juga menegaskan kepada peserta untuk menentukan pihak atau pegawai yang perlu mengambil tindakan susulan agar keputusan yang telah dibuat semasa mesyuarat tidak tergendala.\nMenurut Encik Abdul Karim Abu Bakar, format penulisan minit mesyuarat akan berbeza sekiranya terdapat pembentangan kertas. Antara perkara yang harus direkodkan termasuklah tajuk kertas, pihak yang menyediakan kertas, tujuan utama kertas pembentangan, isu penting yang dibangkitkan semasa pembentangan, pandangan atau ulasan ahli mesyuarat berkenaan isu yang dibangkitkan dalam kertas pembentangan dan keputusan yang disepakati terhadap kertas pembentangan.\nBeliau juga berkongsi mengenai format teknikal minit mesyuarat yang sentiasa digunakan dalam penulisan minit mesyuarat seperti menggunakan fon Arial, saiz fon 12 poin, langkau antara barisan minimum 1.15, kedudukan teks terlaras\u00a0dan sekiranya ada menggunakan istilah bahasa Inggeris, tulisan tersebut haruslah dicondongkan.\nBeliau turut mengingatkan para peserta agar menggunakan bahasa yang berkesan dalam penulisan minit mesyuarat. Bahasa berkesan yang dimaksudkan beliau ialah menggunakan tatabahasa yang betul termasuklah kata, ayat, dan ejaan yang betul. Bukan itu sahaja, dalam konteks bahasa berkesan juga bermaksud menulis minit mesyuarat menggunakan laras bahasa yang standard atau formal, menulis istilah minit mesyuarat yang betul dengan tanda baca yang betul dan sapaan hormat yang tepat.\nSecara keseluruhannya, kursus yang telah dilaksanakan oleh pihak Akademi DBP itu telah memberikan ilmu yang jelas dan cukup berinformasi kepada staf MATRADE yang terlibat menerusi perkongsian penceramah. Usaha ini perlu diteruskan supaya masyarakat sama ada penjawat awam mahupun swasta menguasai kemahiran menulis minit mesyuarat yang betul dari segi formatnya." "Tarikan Teh Tarik di Hainan!\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNasi lemak dan teh tarik. Inilah antara gastronomi yang tidak dapat dipisahkan dengan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Nasi lemak dan teh tarik dibaratkan sebagai mercu tanda penyatuan bangsa Malaysia dalam masyarakat MADANI. Tidak lengkap seseorang itu sebagai warganegara Malaysia jika tidak menjamah nasi lemak dan mencicip air teh tarik kala bersarapan.\nKedua-dua hidangan ini juga boleh dinikmati pada bila-bila masa kala perut berkeroncong untuk diisi waima kala kudapan. Bangsa Malaysia juga ada yang memulakan pagi mereka dan berkudapan dengan hidangan nasi lemak dan air teh tarik. Kedua-duanya mudah didapati di mana-mana kedai sama ada di tepi jalan mahupun di restoran.\nSementara itu, fenomena mencicip air teh boba juga telah meresap masuk ke Malaysia. Teh yang dicampur dengan gula merah, susu segar dan yang istimewanya ditambah dengan bebola manis kecil yang enak dikunyah kala mencicip air teh ini begitu digemari oleh para remaja.\nKafe teh boba ini tumbuh melata dan ada yang turut mempunyai sentuhan hipster. Begitu rancak pempengaruh media sosial yang turut memotretkan nikmat teh boba ini dengan pengaruh hiasan kafe hipster yang santai demi memikat pembeli dan mempromosikan kepelbagaian rasa air minuman di kafe boba ini.\nBenarlah bahawa kepelbagaian rasa air teh boba ini begitu rancak dijual dan dipromosikan di Malaysia. Di Kota Wenchang, khususnya di wilayah Hainan ini, ketika melangkah keluar dari pagar kolej, kafe boba ini turut memenuhi ruang kedai di sepanjang kiri dan kanan jalan.\nHarganya begitu berpatutan malah tidak begitu manis seperti yang ada di Malaysia. Penulis suka akan rasa sebegini malah sudah mencicip pelbagai jenis rasa air teh boba yang tidak dapat dihitung oleh jari-jemari. Aduh! Mengapakah rakyat Malaysia suka akan sesuatu yang manis? Penulis tiada jawapannya. Cukuplah manis pada senyuman sahaja tetapi bukan pada makanan dan minuman.\nFakulti Pengajian Bahasa Timur di Kolej Pengajian Bahasa Asing Hainan sebelum ini juga telah mengadakan minggu kebudayaan. Setiap jabatan bahasa di Pengajian Asia Tenggara yang terdiri daripada Jurusan Bahasa Melayu, Indonesia, Thailand, Laos, Myanmar, Kemboja, Vietnam dan terselit Jurusan Arab, dikehendaki memperkenalkan keunikan kebudayaan setiap negara dari segi makanan, pakaian dan persembahan.\nDengan bangganya, Jurusan Bahasa Melayu memperkenalkan keunikan minuman teh tarik di samping makanan yang tidak asing lagi, iaitu nasi lemak, cucur udang dan onde-onde. Penulis selaku guru Bahasa Melayu telah mendomentrasikan cara-cara membancuh dan menarik air teh sambil berkebaya.\nSejujurnya, air teh tarik bukanlah minuman kegemaran penulis. Boleh dihitung dengan jari- jemari ini berapa kali penulis mencicipnya sepanjang hidup ini. Namun begitu, kini di Wenchang, Hainan, China, penulis menarik air teh tersebut di hadapan para pelajar berbangsa China yang datangnya dari seantero wilayah China, juga tetamu yang singgah di reruai Jurusan Bahasa Melayu.\nSememangnya mereka kagum melihat penulis memegang dua buah kole di tangan kiri dan kanan lantas menariknya tidak terlalu tinggi seperti pakar menarik air teh di kedai mamak di Malaysia. Syukur juga kerana tiada air teh yang tertumpah kala penulis menarik air teh ini di hadapan pengunjung yang singgah di reruai kerana hal ini juga merupakan pengalaman penulis yang pertama kali melakukannya.\nYa. Menarik air teh bukan di rumah penulis di Semenyih, Malaysia, tetapi di Wenchang, China. Selain itu, penulis juga bukan berbaju santai seperti berada di rumah tetapi berkebaya. Satu pengalaman yang begitu mengujakan diri penulis.\nPara pengunjung yang singgah di reruai Jurusan Bahasa Melayu kagum melihat teknik menarik air teh dan melihat air teh itu berbuih tetapi masih hangat ketika diminum. Pelbagai persoalan ditanya oleh pengunjung dan dijawab oleh para pelajar dan guru tempatan Jurusan Bahasa Melayu kerana kekangan bahasa yang ada pada diri penulis yang tidak tahu berbahasa Mandarin.\nAda yang bertanya tentang keistimewaannya, resipi, sukatan campuran air teh dan susu dan ada juga ingin mencuba menarik air teh tersebut. Tiada sukatan yang penulis lakukan. Sukatannya dari hati dan agak-agak sahaja.\nKetika pengunjung mencuba menarik air teh, pelbagai aksi lucu sempat dipotretkan. Pastinya ada air yang tertumpah tetapi masih lagi terkawal. Hirik-pikuk dan gelak ketawa menyelubungi reruai kami. Ada pengunjung yang menjerit kala airnya tertumpah dan ada juga yang menggigil ketika pertama kali menarik air teh tersebut. Bermacam-macam aksi lucu yang terakam.\nRata-rata pengunjung yang singgah di reruai Jurusan Bahasa Melayu ini suka mencicip air teh tarik yang diberi kepada mereka. Penulis juga mencicip air teh tarik itu. Enak sesedap rasa dan kena di kerongkong penulis yang tidak suka akan kemanisan yang melampau pada sesuatu makanan dan minuman. Ya. Susu pekat manisnya tidak begitu manis bak kata teman-teman penulis yang acapkali berjenaka jika menikmati minuman yang manis, \u201cpotong kaki\u201d kata mereka. Di sini rasa-rasanya tidak perlu potong kaki.\nPengarah Fakulti Pengajian Asia Timur, iaitu Prof. Go juga menyukai air teh tarik yang dibuat oleh penulis. Pengalaman pertamanya melihat seseorang menarik air teh yang menghasilkan buih lantas rasa enak dan masih hangat diminum. Dicicipnya senikmat yang mungkin.\nSetelah mempunyai pengalaman menarik air teh bersempena dengan minggu kebudayaan di kolej, penulis turut diminta oleh pihak fakulti untuk sekali lagi melakukan demonstrasi menarik air teh di bandar Haikou, iaitu ibu wilayah Hainan, China, bersempena dengan Pameran Kolej Kemahiran. Kolej ini diundang untuk mempromosikan kursus pengajian bahasa asing yang ditawarkan.\nDengan mengenakan baju kurung dan pada waktu itu cuacanya agak cerah dan panas kerana menghampiri musim panas, penulis harus berkaca mata hitam kerana cahaya mataharinya terlalu silau. Menarik air teh di bandar Haikou! Sesuatu yang sangat menarik untuk diilustrasikan pengalaman ini.\nDi sini, pengunjung begitu ramai dan pameran ini telah dirasmikan oleh Datuk Bandar Haikou. Sambil menarik air teh, penulis tidak sedar bahawa Dato Bandar Haikou turut melihat teknik teh tarik ini lantas ingin merasainya. Kelihatan Prof. Go menerangkan sesuatu kepada Dato Bandar kala beliau mencicip air teh tarik ini. Penulis tidak sedar aksinya kerana pengunjung yang lain ramai menanti air teh tarik yang siap untuk mereka rasai.\nBegitu mencabar juga pengalaman ini kerana ketika itu cuaca begitu panas. Pengunjungnya ramai serta suasananya meriah dengan keinginan mereka untuk bertanya akan keistimewaan minuman yang bernama air teh tarik ini yang sinonim dengan kehidupan harian rakyat Malaysia.\nSeorang Ketua dari Fakulti Pengajian Bahasa Timur yang mahir berbahasa Inggeris berlelucon kepada penulis dengan mengatakan bahawa penulis boleh berniaga dengan menjual teh tarik di Haikou. Suasana dipenuhi dengan hilai tawa kami. Mengapa tidak? Menarik juga jika boleh menjual teh tarik di sini.\nSiapa bilang perempuan Melayu sambil berkebaya dan berbaju kurung tidak boleh menarik air teh di sebuah negara asing yang pertama kali rakyatnya melihat keistimewaan minuman ini? Penulis juga masih tidak percaya dengan diri ini yang buat julung-julung kalinya mempersembahkan gaya menarik minuman yang bernama air teh tarik ini bukan di Malaysia tetapi di China. Bukan penulis juga bukan berpakaian santai tetapi berkebaya dan berbaju kurung.\n\u201cMengapakah air teh itu perlu ditarik?\u201c tanya seorang pengunjung. Penulis membalas dengan mengatakan bahawa buih yang terhasil daripada tarikan dua buah kole yang dipegang oleh tangan kanan dan kiri ini menghasilkan rasa air teh yang padu dan lazat. Air ini hanya ada di Malaysia kerana rakyat Malaysia yang berbilang kaum boleh menikmatinya pada bila-bila masa sahaja waima di gerai tepi jalan.\nHarganya juga berpatutan sama ada ingin cawan yang \u00a0bersaiz besar \u00a0atau yang bersaiz kecil. Pengunjung itu kagum ketika jawapan itu diterjemahkan oleh rakan sekerja. Teknik tarikan air teh sangat menarik perhatian pengunjung. Lain sungguh gaya menghidangkan air teh tarik ini katanya. Itulah tarikannya. Menarik bukan!" "Persidangan Penterjemahan Antarabangsa Ke-19 Bakal Kembali\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Persidangan Penterjemahan Antarabangsa (PPA) merupakan persidangan dwitahunan yang juga merupakan satu-satunya persidangan terjemahan yang dianjurkan di Malaysia. PPA-19 pada kali ini adalah anjuran bersama Persatuan Penterjemah Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) Press, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Jabatan Perpustakaan dan Sains Maklumat, IIUM.\nPenganjuran persidangan ini adalah untuk semua pihak yang terlibat dalam bidang dan industri terjemahan termasuklah para akademik, pengamal, penyelidik dan pelajar.\nMenurut Pengerusi PPA-19, Prof. Datin Dr. Roslina Othman, tujuan persidangan ini diadakan adalah untuk mewujudkan arena sejagat untuk wacana intelektual dan profesional mengenai teori terkini, pendekatan isu, perspektif, amalan, penyelidikan dalam bidang penterjemahan dan interpretasi\nTambahnya lagi, persidangan ini juga bagi menggalakkan pertukaran gagasan, pendapat dan pengalaman dalam bidang penterjemahan dan interpretasi demi mencapai kecemerlangan akademik dan peri relevannya dalam industri.\n\u201cPPA-19 pada kali ini yang bertemakan \u201cPenterjemahan Global untuk Kesejahteraan Sejagat\u201d bakal berlangsung selama tiga hari di Swiss Garden Hotel, Kuala Lumpur,\u201d katanya ketika menjadi tetamu jemputan dalam program Apa Khabar Malaysia, terbitan BERNAMA TV semalam.\nBeliau berkata, terjemahan yang tepat adalah penting kerana kecenderungan memberikan makna yang salah boleh menyebabkan berlakunya salah faham. Apabila timbulnya salah faham dalam sesuatu dokumen akan mendorong kepada impak yang negatif.\nKatanya lagi, antara isu yang bakal diberikan perhatian ialah penggunaan teknologi dalam bidang penterjemahan pada masa ini seperti ChatGPT yang telah digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuklah para pelajar tanpa sebarang garis panduan.\nBidang penterjemahan di Malaysia mempunyai rekod yang cemerlang terutamanya dalam penterjemahan bahan-bahan yang berkaitan dengan sastera. Sudah tiba masanya bidang penterjemahan memberikan perhatian terhadap bahan ilmiah seperti buku akademik dalam bidang perubatan, contohnya.\nTambahnya, terjemahan buku dalam bidang perubatan ke dalam bahasa Melayu membolehkan lebih banyak pihak dapat memperoleh ilmu tersebut.\nBeliau berkata, pembentang dalam persidangan tersebut juga akan melibatkan jemputan antarabangsa seperti Presiden Persekutuan Penterjemah Antarabangsa yang beribu pejabat di Perancis, Miss Alison Rodriguez.\nBeliau juga berharap agar persidangan ini dapat memberikan impak kepada industri terjemahan kerana industri terjemahan memerlukan penterjemahan yang berkualiti." "Kelantan Membuka Tirai Festival Bahasa dan Sastera 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBachok \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membuka tirai Festival Bahasa dan Sastera 2023 (FBS) dengan Kelantan diberi penghormatan sebagai negeri pembuka tirai yang melaksanakannya.\nBertempat di Kolej Vokasional Bachok, program ini mendapat kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dan Kolej Vokasional Bachok, serta dukungan pelbagai agensi awam dan swasta.\nFBS yang berikutnya akan dilaksanakan oleh DBP di Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah dan Pulau Pinang pada bulan Mei dan Jun 2023.\nMenteri Pendidikan Malaysia, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek dalam ucapan perasmian FBS Kelantan 2023 amat berterima kasih kepada DBP kerana melaksanakan FBS Kelantan 2023.\nBeliau berkongsi kisah dirinya yang sedari kecil telah dipupuk oleh kedua-dua ibu bapanya dengan bahan bacaan bermutu daripada DBP, membesar dengan novel terbitan DBP dan dididik supaya menggunakan bahasa Melayu dengan betul.\nKesannya hingga kini, beliau amat menghargai dan mempercayai bahawa DBP ialah satu-satunya institusi yang cukup berwibawa dalam menjaga integriti bahasa.\nUjar beliau,\nSebagai ibu bapa, apabila bercakap tentang buku, bukan soal hanya melihat bahan bacaan (yang sesuai) untuk anak-anak, tetapi integriti buku seperti soal penerbitnya dan soal kesalahan bahasa mesti menjadi perkiraan ibu bapa setiap kali membeli buku untuk bahan bacaan anak-anak kita.\nTambah beliau lagi,\nSemasa kecil, ibu membacakan Tidurlah Intan kepada saya. Koleksinya mengandungi kisah yang berorientasikan nasihat dan nilai yang baik untuk dibaca kepada anak-anak. Datuk dan nenek saya selalu mengisahkan cerita\u00a0Batu Belah Batu Bertangkup dan Bawang Putih Bawang Merah. Bahan bacaan begini menjadikan kita minat membaca, memperbaik bahasa dan mengayakan pengalaman.\nDi samping itu, YB Fadhlina Sidek turut mengucapkan tahniah kepada DBP yang mengambil inisiatif untuk menganjurkan program yang menyemarakkan lagi kecintaan terhadap bahasa, budaya dan tradisi Malaysia, khususnya yang menjadi identiti negeri Kelantan. Beliau berharap agar program seperti ini dapat memperkenalkan kepada generasi muda tentang kekayaan bahasa, sastera dan seni budaya Kelantan.\nSementara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YB Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berkata, Festival Bahasa dan Sastera 2023 Peringkat Negeri Kelantan pada 20-21 Mei 2023 merupakan satu daripada pengisian agenda DBP untuk memasyarakatkan bahasa, sastera dan ilmu kepada masyarakat pelbagai lapisan dan golongan di negara ini.\nMenurutnya lagi, usaha pemasyarakatan itu penting sebagai imbangan dan pelengkap terhadap kerja pembinaan bahasa, sastera dan ilmu agar hasil gerak kerja pembinaan itu sampai kepada masyarakat. Kegiatan serius perlu disokong oleh kegiatan santai tetapi tetap berlandaskan ilmu dan nilai luhur kerana kepelbagaian khalayak bahasa, sastera dan ilmu.\nUsaha bersepadu DBP itu juga selaras dengan gagasan Malaysia MADANI yang bermatlamat untuk membina masyarakat berilmu, bermaklumat, berbudi luhur, berinovasi dan rahmah.\nUjarnya lagi,\nBahasa Melayu merentas 700 etnik di alam Melayu. Bahasa Melayu pada peringkat serantau dan negara kita menjadi alat perpaduan yang cukup ampuh yang mesti terus diangkat dan digerakkan. Festival seperti ini, saya yakin dapat meneruskan gerakan DBP bagi menyedarkan masyarakat bahawa bahasa dan sastera mempunyai peranan yang besar dalam mengangkat tamadun. Menjadi tanggungjawab kita sebagai waris tamadun Melayu untuk menjadikan bahasa dan sastera sebagai tonggak penting selain terus melestarikan perkembangan ekonomi dan dari sudut lain.\nUntuk rekod, FBS dilaksanakan untuk mempromosikan dan menyemarakkan lagi penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dalam kalangan masyarakat dan menyatupadukan masyarakat melalui bahasa kebangsaan.\nLebih 3000 orang peserta dan pengunjung pelbagai pihak dilibatkan yang meliputi murid prasekolah dan sekolah rendah, pelajar sekolah menengah, IPT, IPG, guru, penulis, rakan komuniti setempat dan orang awam.\n\n\n\u00a0\nSebanyak 14 kegiatan menarik telah dilaksanakan untuk menyemarakkan FBS Kelantan 2023 yang bermula dari 20 Mei dan 21 Mei 2023, seperti Ekspresi Muzik Jalanan, Pertandingan Dikir Barat, Eksplorasi Bahasa, Bimbingan Penulisan Sastera Komunikatif, Bimbingan dan Penghayatan Puisi, Bimbingan Teknik Bercerita, Majalah dalam Kelas, Jejak Bahasa, Semarak Jawi, Pertandingan Tazkirah Bahasa, Sembang Orang Muda, Bicara Buku Penulis Siam Kelantan dan Riang Ria Bahasa.\n\u00a0\nPersembahan Malam Bahasa Jiwa Bangsa pula berkonsepkan adunan wayang kulit dan dikir barat sebagai seni persembahan kebudayaan di Kelantan yang menampilkan barisan pendikir barat Kelantan, dalang wayang kulit, lagu dikir dan deklamasi puisi oleh pendeklamator dan penyair tersohor Kelantan dan tetamu jemputan. Selain itu, pameran juga diadakan daripada pelbagai agensi serta jualan buku DBP.\nYang turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato\u2019 Haji Pkharuddin Haji Ghazali; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Haji Md Johari Hasan; dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, Haji Mohd Salahuddin Dato\u2019 Paduka Mohamed." "DBP Bantu Majlis Perbandaran Kota Samarahan Perkasakan Penulisan Dokumen Rasmi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Dokumen rasmi kerajaan merupakan dokumen yang dihasilkan oleh jabatan kerajaan seperti surat rasmi, minit mesyuarat dan laporan. Dokumen tersebut menjadi medium perhubungan antara jabatan kerajaan dengan masyarakat mahupun sesama jabatan. Penulisan dokumen rasmi yang baik berupaya menyerlahkan citra sesebuah jabatan kerajaan.\nSehubungan dengan itu, baru-baru ini Majlis Perbandaran Kota Samarahan selaku tuan rumah telah menganjurkan Program Bimbingan Penulisan Surat-menyurat Rasmi dan Minit Mesyuarat yang bertujuan untuk membantu penjawat awam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam penulisan surat rasmi dan minit mesyuarat mengikut format dan bahasa yang standard.\nProgram selama tiga hari itu melibatkan 63 orang kakitangan dari Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Majlis Perbandaran Padawan, Majlis Daerah Lundu, Majlis Daerah Sarikei, Majlis Daerah Saratok, Majlis Daerah Serian, Majlis Daerah Bau dan Majlis Daerah Dalat dan Mukah.\nProgram tersebut dibimbing oleh Puan Siti Nur Atiqah Amirudin dan Puan Intan Nur-Izzati Shabri dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak.\nMelalui program tersebut, para peserta diberi maklumat tentang format penulisan surat rasmi dan minit mesyuarat berdasarkan panduan yang dikeluarkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), selain perkongsian yang berkaitan dengan ejaan dan tatabahasa yang betul dalam hukum penulisan bahasa Melayu.\nSelain itu, para peserta turut diperkenalkan dengan aplikasi Kamus Pro dan tatacara penggunaan laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), DBP.\nSepanjang program ini berlangsung, para peserta sangat responsif dan mengajukan pelbagai soalan berkenaan dengan kekeliruan yang dihadapi semasa menyediakan surat rasmi dan minit mesyuarat jabatan.\nSiri bimbingan ini diakhiri dengan sesi latihan dalam kumpulan yang memerlukan peserta menyediakan beberapa surat rasmi untuk dibincangkan dan ditambah baik dari segi format dan bahasanya." "Antara Golongan Kata dengan Fungsi Kata\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGolongan kata merujuk jenis kata, iaitu sama ada kata yang berkenaan ialah kata nama, kata kerja, kata adjektif atau kata tugas. Kata nama, kata kerja dan kata adjektif dapat menjadi inti frasa, manakala kata tugas merupakan golongan heterogen yang meliputi pelbagai kata yang mempunyai tugas tatabahasa tertentu. Pembahagian dan perbezaan antara jenis kata biasanya amat jelas. Sila lihat contoh yang berikut:\nKata nama: pintu, peti, pembangunan, kesakitan\nKata kerja: tidur, berehat, menangis, tertipu\nKata adjektif: buruk, kaya, cermat, prihatin\nKata tugas: sangat, bukan, dengan, kerana\n\u00a0\nWalaupun kata dapat dikategorikan mengikut golongan atau jenis tertentu, ada kalanya fungsinya dalam ayat menyerupai golongan atau jenis kata yang lain. Fungsi kata bergantung pada fungsi kata yang berkenaan dalam konteks ayat yang berbeza-beza. Apabila konteks ayat berubah, fungsi kata mungkin tutur berubah. Hal ini merupakan perkara yang agak rumit yang harus kita halusi. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a. \u00a0Banyak\u00a0tetamu hadir.\n1b. \u00a0Hartanya banyak.\n1c. \u00a0Dia banyak\u00a0bercakap.\n\u00a0\n2a. \u00a0Kereta itu laju.\n2b. \u00a0Kereta itu bergerak laju.\n\u00a0\nDalam ayat 1a, kata banyak\u00a0tergolong dalam golongan kata asal sebagai kata bilangan tak tentu. Namun begitu, dalam ayat 1b, kata banyak\u00a0berfungsi sebagai kata adjektif dalam pola ayat Frasa Nama + Frasa Adjektif. \u00a0alam ayat 1c, kata banyak\u00a0berfungsi sebagai adverba dalam pola ayat Frasa Nama + Frasa Kerja.\nDalam ayat 2a, kata laju\u00a0tergolong dalam golongan kata asal sebagai kata adjektif. Dalam ayat 2b pula, kata laju\u00a0berfungsi sebagai adverba dalam pola ayat Frasa Nama + Frasa Kerja.\n\u00a0\n3a. \u00a0Tembakannya mengenai\u00a0sasaran.\n3b. \u00a0Dia berceramah mengenai\u00a0teknologi hijau.\n3c. \u00a0Dia berceramah tentang\u00a0teknologi hijau.\n\u00a0\n4a. \u00a0Dia melalui\u00a0jalan itu.\n4b. \u00a0Jarum menerusi\u00a0kain itu.\n4c. \u00a0Perhubungan mereka melalui/menerusi\u00a0Internet.\n4d. \u00a0Perhubungan mereka dengan\u00a0Internet.\n\u00a0\n5a. \u00a0Dia mengikut/menurut\u00a0ibunya ke pasar.\n5b. \u00a0Mengikut/Menurut\u00a0Ali, kawannya bercakap benar.\n5c. \u00a0Bagi\u00a0Ali, kawannya bercakap benar.\n\u00a0\nDalam ayat 3a, kata mengenai\u00a0tergolong dalam golongan kata asal sebagai kata kerja. Dalam ayat 3b pula, kata mengenai\u00a0berfungsi seperti sendi nama tentang\u00a0dalam pola ayat Frasa Nama + Frasa Sendi Nama (lihat ayat 3c).\nDalam ayat 4a dan 4b, kata melalui\u00a0dan menerusi\u00a0tergolong dalam golongan kata asal sebagai kata kerja. Dalam ayat 4c pula, kata melalui\u00a0dan menerusi\u00a0berfungsi seperti sendi nama dengan\u00a0dalam pola ayat Frasa Nama + Frasa Sendi Nama (lihat ayat 5d).\nDalam ayat 5a, kata mengikut\u00a0dan menurut\u00a0tergolong dalam golongan kata asal sebagai kata kerja. Dalam ayat 5b pula, kata mengikut\u00a0dan menurut\u00a0berfungsi seperti sendi nama bagi\u00a0dalam pola ayat Frasa Nama + Frasa Kerja dengan frasa keterangan (lihat ayat 5c).\n\u00a0\n6a. \u00a0Pegawai polis merupakan\u00a0diri seperti orang awam.\n6b. \u00a0Dia merupakan\u00a0pegawai polis.\n6c. \u00a0Dia (ialah) pegawai polis.\n\u00a0\nDalam ayat 6a, kata merupakan\u00a0tergolong dalam golongan kata asal sebagai kata kerja. Dalam ayat 6b pula, kata merupakan\u00a0berfungsi seperti kata pemeri ialah\u00a0dalam pola ayat Frasa Nama + Frasa Nama (lihat ayat 6c).\n\u00a0\n7a. \u00a0Dia berilmu\u00a0banyak.\n7b. \u00a0Dia sangat berilmu.\n\u00a0\n8a. \u00a0Dia terkenal\u00a0dengan ilmunya.\n8b. \u00a0Dia sangat terkenal.\n\u00a0\nDalam ayat 7a dan 8a, kata berilmu\u00a0dan terkenal\u00a0tergolong dalam golongan kata asal sebagai kata kerja. Dalam ayat 7b dan 8b pula, kata berilmu\u00a0dan terkenal\u00a0berfungsi seperti kata adjektif dalam pola ayat Frasa Nama + Frasa Adjektif, dan dapat dihuraikan dengan kata penguat seperti sangat.\n\u00a0\n9a. \u00a0Hadiah ini untuk\u00a0ibu.\n9b. \u00a0Dia berusaha untuk\u00a0berjaya.\n9c. \u00a0Untuk\u00a0dia lulus adalah sukar.\n\u00a0\nDalam ayat 9a, kata untuk\u00a0berfungsi sebagai kata sendi nama, dan diikuti oleh kata nama ibu. Dalam ayat 9b, kata untuk\u00a0merupakan kata hubung pancangan keterangan tujuan, iaitu berada di pangkal klausa untuk (dia) berjaya. Dalam ayat 9c pula, kata untuk\u00a0ialah kata hubung pancangan komplemen, iaitu berada di pangkal klausa untuk dia lulus\u00a0yang menjadi subjek ayat.\n\u00a0\n10a. \u00a0Katanya benar.\n10b. \u00a0Dia pandai benar.\n\u00a0\nDalam ayat 10a, kata benar\u00a0ialah kata pembenar, manakala dalam ayat 10b, kata benar\u00a0merupakan kata penguat belakang.\n\u00a0\n11a. \u00a0Dia diturunkan pangkat oleh (sebab) kecuaiannya.\n11b. \u00a0Dia diturunkan pangkat oleh sebab dia cuai.\n11c. \u00a0Dia diturunkan pangkat sebab dia cuai.\n11d. \u00a0Sebab dia diturunkan pangkat ialah dia cuai.\n\u00a0\nDalam ayat 11a, kata oleh\u00a0atau oleh (sebab)\u00a0merupakan sendi nama yang diikuti kata nama kecuaiannya. Dalam ayat 11b, kata oleh sebab\u00a0merupakan kata hubung pancangan keterangan musabab kerana berada di pangkal klausa oleh sebab dia cuai.\u00a0Dalam ayat 11c, kata sebab\u00a0juga merupakan kata hubung pancangan keterangan musabab kerana berada di pangkal klausa sebab dia cuai. Dalam ayat 11d, kata sebab merupakan kata nama dan menjadi inti frasa nama sebab dia diturunkan pangkat." "Dialek Menjambatani Penyampaian Maklumat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBahasa merupakan alat komunikasi yang digunakan oleh masyarakat untuk berhubung sejak dahulu lagi. Oleh itu, penguasaan bahasa sangat penting bagi membolehkan sesuatu maklumat dapat difahami dengan jelas dan berkesannya. Namun begitu, setiap orang pasti mempunyai halangan dan limitasi untuk menguasai dan memahami maklumat yang menggunakan bahasa tertentu disebabkan oleh perbezaan budaya masing-masing.\nTambahan pula, Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang didiami oleh pelbagai kaum dan etnik, serta mempunyai pelbagai dialek dan loghat masing-masing. Walaupun tidak dinafikan bahawa bahasa Melayu telah diangkat sebagai bahasa rasmi dan bahasa perpaduan yang menyatupadukan masyarakat, ada kalanya penyampaian sesuatu maklumat lebih berkesan apabila menggunakan dialek atau loghat masing-masing, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.\nDialek berbeza antara satu-satu kawasan disebabkan oleh pengaruh alam, persekitaran, budaya dan cara pergaulan yang berlainan. Perbezaan tersebut menyebabkan terjadinya kelainan dalam penggunaan bahasa, seterusnya menjadikannya suatu bentuk bahasa itu berbeza daripada bahasa standard.\nBentuk bahasa tersebut dikenali sebagai dialek atau loghat. Dialek berasal daripada kata dalam bahasa Yunani, iaitu dialektos, yang bermaksud manner of speech. Menurut Syarifah Raihan Syed Jaafar dalam makalah \u201cPembentukan Struktur Kata Dialek Melayu Kuala Pilah\u201d, dialek ditakrifkan sebagai sistem bahasa yang digunakan dalam sesebuah masyarakat untuk membezakannya daripada masyarakat lain yang menggunakan sistem bahasa yang berlainan walaupun mempunyai hubungan yang erat.\nDialek boleh digunakan sebagai medium penyampaian maklumat yang berkesan berbanding dengan bahasa standard. Contohnya, semasa pandemik berlaku di Malaysia, dialek digunakan untuk membantu masyarakat memahami bahaya virus COVID-19 dengan lebih jelas. Semasa wabak ini mula melanda negara, istilah yang berkaitan dengan wabak ini kebanyakannya adalah dalam bahasa Inggeris.\nSetelah itu, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengambil langkah proaktif dengan cara memperkenalkan pelbagai istilah dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, istilah tersebut masih belum difahami dengan berkesannya oleh masyarakat, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar. Buktinya, masyarakat masih bersikap sambil lewa dengan masih melepak dan menziarahi antara satu dengan lain pada waktu permulaan wabak itu.\nDalam usaha untuk menjadikan maklumat yang disampaikan lebih berkesan, banyak pihak dilihat menggunakan dialek tempatan masing-masing. Teguran yang disampaikan melalui dialek menyebabkan seseorang yang ditegur itu tidak mudah berasa hati atau terguris hati.\nJabatan Penerangan Negeri (JaPen) merupakan antara pihak yang mula menggunakan dialek setempat ketika menyampaikan maklumat tentang tahap bahaya wabak ini kepada masyarakat. Usaha tersebut dilihat semakin berkesan apabila masyarakat lebih berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan untuk mengelakkan jangkitan wabak tersebut.\nSetelah kejayaan menggunakan dialek untuk memberikan penerangan tentang tahap bahaya wabak COVID-19, banyak pihak mula menggunakan dialek dalam usaha mejayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Negeri yang mempunyai kadar vaksinasi rendah seperti Kelantan, Kedah dan Sabah mengambil pendekatan menggunakan dialek setempat dalam usaha menyedarkan masyarakat, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.\nJaPen Sabah tidak terkecuali apabila menggunakan dialek tempatan semasa memberikan penerangan dari kampung ke kampung bagi memperhebat usaha untuk menarik minat masyarakat. Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga mengambil inisiatif mendidik orang ramai mengenai vaksin COVID-19 dengan penggunaan pelbagai dialek dalam usaha menggalakkan vaksinasi melalui media sosial fakulti tersebut.\nPenggunaan dialek ini dilihat berkesan dalam usaha menyampaikan kepentingan vaksinansi kepada masyarakat apabila kadar vaksinasi masyarakat semakin meningkat sehingga negara mampu mencapai kadar vaksinasi 90 peratus daripada populasi dewasa pada Oktober 2021.\nSelain itu, dialek juga digunakan oleh peniaga untuk mempromosikan perkhidmatan dan barangan. Penggunaan bahasa yang indah, menarik dan dekat dengan khalayak mampu mempengaruhi minda golongan sasaran untuk membeli barangan. Walaupun dialek mungkin hanya sesuai digunakan untuk penulisan iklan di kawasan dan negeri tertentu, penggunaannya juga berkesan kepada masyarakat yang berada di luar kawasan tersebut.\nHal ini dikatakan demikian kerana masyarakat Malaysia sentiasa berasimilasi dan berhijrah dari satu kawasan ke kawasan yang lain. Contohnya, terdapat video tular yang menunjukkan pramugari penerbangan Syarikat Air Asia yang dalam perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan mempromosikan barangan syarikat tersebut dalam dialek Kelantan kepada penumpang. Penggunaan dialek menjadi pilihan kerana lebih dekat dan mudah difahami oleh penumpang yang menuju ke negeri Che Siti Wan Kembang tersebut.\nDialek juga digunakan dalam usaha untuk mempromosikan produk pelancongan sesuatu kawasan. Kebanyakan pelancong berasa teruja untuk melihat keunikan bahasa dan budaya yang ada di sesebuah kawasan yang ingin dilawati. Buktinya, seorang Tiktoker popular di Perlis, Mohd Hafiz Md Yatim, memanfaatkan medium sosial berkenaan bagi mempromosikan destinasi menarik dan produk pelancongan yang terdapat di Perlis dengan menggunakan dialek negeri tersebut. Kandungan video yang dimuat naik mendapat perhatian masyarakat Malaysia sehingga semakin ramai yang mengunjungi Perlis untuk bercuti bersama-sama keluarga.\nKesimpulannya, dialek yang melambangkan identiti sesebuah masyarakat mampu menjadi medium penyampaian maklumat yang berkesan. Bukan itu sahaja, dialek juga membantu seseorang untuk mempromosikan barangan dan perkhidmatan dengan lebih berkesan kepada khalayak.\nDialek bukanlah bahasa basahan yang dipandang sebelah mata kerana penggunaan dialek telah membantu kerajaan menyampaikan maklumat yang berkesan kepada masyarakat, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar sepanjang negara dilanda wabak pandemik COVID-19.\nDiharapkan agar lebih banyak pihak dapat menggunakan dialek dalam usaha untuk menyampaikan sesuatu maklumat yang berkaitan dengan isu semasa agar penyampaiannya lebih difahami secara tepat dan berkesan." "Perekodan Istilah dan Perkataan daripada Bahasa Peribumi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSABAH \u2013 Pujian harus diberi kepada penganjur yang berusaha mengadakan Pertandingan WikiKata Edisi Kedua secara dalam talian dalam usaha untuk merekodkan pelbagai istilah dan perkataan daripada bahasa peribumi yang ada di Malaysia ke dalam Wikikamus Bahasa Melayu. Pertandingan ini dianjurkan oleh pihak Wikikamus Bahasa Melayu di bawah kelolaan Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia dengan kerjasama Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS).\nWikiKata ialah suatu inisiatif yang diambil untuk mewujudkan kehadiran bahasa orang asal di Malaysia, sekali gus menyediakan kamus bahasa orang asal secara percuma di internet melalui Wikikamus. Usaha turut dilakukan untuk memulihara bahasa peribumi yang semakin terancam dek bilangan penuturnya yang semakin berkurangan dari sehari ke sehari. Pertandingan ini juga merupakan antara persiapan bagi Dekad Antarabangsa Bahasa Orang Asal UNESCO, yang akan bermula pada tahun hadapan.\n\n\u00a0\nPada tahun 2020, Pertandingan WikiKata telah menerima sebanyak 683 perkataan daripada tujuh bahasa asal di Malaysia. Pada tahun ini, pertandingan diadakan mulai 1 Julai 2021 hingga 31 Julai 2021 dan senarai pemenang bakal pula akan diumumkan pada 1 September 2021. Hadiah menarik ditawarkan kepada para peserta yang bernilai sehingga RM500.\n\nTerdahulu, majlis perasmian pertandingan ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh wakil Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia, Dody Ismoyo dan perasmian oleh Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Mackey Apison. Majlis kemudiannya diteruskan dengan pembentangan kertas kerja ringkas oleh Dr. Jeannet Stephen, Ketua Kluster Bahasa dan Linguistik Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah yang bertajuk \u201cPersiapan Dekad Antarabangsa UNESCO untuk Bahasa Orang Asal\u201d. Majlis diakhiri dengan sesi bengkel WikiKata kepada para peserta oleh Ahli Jawatankuasa, Encik Faris Hazman." "Lirik Malar Segar yang Merentas Zaman\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Lirik dan lagu tidak boleh dipisahkan begitu sahaja. Oleh itu, kedua-duanya sangat penting. Bagi menyampaikan sesuatu karya, pastinya memerlukan media. Media dapat membantu dalam penyampaian sesebuah karya kepada khalayak. Hal ini dikatakan demikian kerana sifat media yang kekal relevan sepanjang zaman.\nDemikian antara inti pati menarik daripada program Sembang Tamu Dewan Bahasa: Lirik Malar Segar, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bersiaran secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP, pada pukul 3:45 petang tadi.\nProgram ini telah dikendalikan oleh Puan Rabi\u2019ahtuladawyah Md Salleh, Perancang Bahasa, DBP, selaku moderator bersama-sama dua orang ahli panel jemputan, iaitu Encik Saari Amri (pencipta lagu, penulis lirik dan penerbit) dan Dr. Azam Dungun (Pensyarah Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, penerbit, penyusun muzik, pencipta lagu dan penulis lirik).\nMenurut Dr. Azam Dungun, penghasilan lirik sesebuah lagu juga dikatakan bercantum dengan budaya sesebuah masyarakat dan lirik memainkan peranan dalam mencorakkan budaya masyarakat itu.\nSemasa berkarya, beliau turut merujuk lirik yang ada di pasaran dan yang diterima ramai oleh khalayak.\u00a0 Menurut beliau, idea menulis lirik datang daripada persekitaran dan pembacaan. Beliau juga berhati-hati dalam pemilihan kata supaya tidak mendatangkan masalah untuk penyiaran oleh pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 1990-an.\nUjarnya lagi, penulisan lirik juga berpandukan buku pedoman seperti Kamus Dewan dan Tatabahasa Dewan yang diterbitkan oleh DBP.\nSementara itu, menurut Saari Amri, selain pengalaman sendiri, beliau turut mendapat idea untuk menghasilkan lirik daripada pembacaan cerpen dan novel. Minat beliau terhadap aktiviti membaca telah membantu dirinya mengumpulkan pelbagai jenis kosa kata dan mengadaptasikan jalan cerita daripada hasil pembacaan tersebut kepada sesuatu lirik.\nSaari Amri berkata bahawa lagu Gerimis Mengundang merupakan sebuah lagu yang sangat memberikan kesan buat dirinya apabila lagu itu telah diterjemahkan dan diubah liriknya kepada lebih 30 bahasa.\nMenurut beliau lagi, kerangka penghasilan sesebuah lirik mestilah didahului dengan melodi terlebih dahulu dan kemudiannya barulah beralih kepada lirik. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan adanya melodi, maka penghasilan lirik akan menjadi lebih mudah untuk diserasikan.\nDalam penghasilan lirik lagu, gaya bahasa juga perlu dititikberatkan agar menarik, sekali gus malar segar walaupun sudah bertahun-tahun lagu itu diterbitkan, tetapi masih dinyanyikan atau dimainkan di media massa dan di corong radio.\nOleh itu, untuk menghasilkan sesuatu lirik, penulis perlu melakukan pembacaan yang banyak dan mengolah semula perkataan yang dijumpai untuk menjadikan sesuatu lirik itu berkualiti." "Gunakan Bahasa yang Baik dan Betul dalam Kertas Cadangan dan Laporan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cDalam penyediaan kertas cadangan dan laporan, antara perkara asas yang perlu dititikberatkan termasuklah penggunaan bahasa yang baik dan betul,\u201c demikian menurut Ketua Bahagian Buku Bahasa, iaitu YM Tengku Fauziah Ku Mat.\nKatanya,\nMasih banyak lagi penyedia kertas cadangan dan laporan yang tidak peka terhadap penggunaan bahasa yang baik dan betul.\nBeliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramahnya dalam Kursus Wacana Profesional Berimpak Tinggi (Kertas Cadangan dan Laporan) kepada peserta kursus daripada pelbagai syarikat dan warga kerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nBeliau berkata, masih berlaku kesalahan terhadap perkara asas bahasa seperti penggunaan kata sendi \u201cdari\u201c dan \u201cdaripada\u201c, serta penggunaan kata \u201cbila\u201c dan \u201capabila\u201c dalam Kertas Cadangan dan Laporan.\nTambah beliau yang pernah terlibat dalam Khidmat Pengesahan Bahasa DBP juga menjelaskan bahawa banyak kesalahan bahasa yang berlaku di tempat awam seperti pada paparan papan iklan dan papan tanda. Misalnya, perkataan \u201cmi\u201c dan \u201ckuetiau\u201c, \u201cBangla untuk Dijual\u201c dan Dilarang Memijat Rumput\u201c yang dieja secara salah.\nWalau bagaimanapun, beliau memuji beberapa tempat di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuklah Sabah yang berjaya mengurangkan kesalahan bahasa di tempat awam.\nKatanya,\nBesar kemungkinan, kesalahan bahasa yang begitu ketara pada papan tanda dan papan iklan dilakukan oleh pihak tertentu secara haram yang tidak mendapat pengesahan bahasa daripada DBP dan kebenaran daripada PBT.\nYM Tengku Fauziah yang pernah bertugas sebagai Pengarah Wilayah Utara DBP berkongsi pengalamannya menyediakan kertas cadangan sebanyak 32 halaman untuk dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan bagi membendung kesalahan bahasa di tempat awam. Baginya, tugas untuk meyakinkan PBT agar sama-sama membantu mengurangkan kesalahan bahasa di tempat awam menuntut tindakan yang sewajarnya dalam menghadapi cabaran yang besar.\nMenurutnya, pemantauan penggunaan bahasa yang baik dan betul dalam kertas cadangan dan laporan amat diperlukan sebagai pembelajaran bahasa secara tidak langsung agar kesalahan yang sama tidak berulang. Selain itu, penggunaan bahasa yang baik mampu mendidik masyarakat untuk memartabatkan bahasa Melayu dengan baik dan betul.\nDalam kursus tersebut, beliau turut berkongsi panduan dan petua yang berkaitan dengan penulisan Kertas Cadangan dan Laporan. Bagi mengukuhkan pemahaman dan pengetahuan, peserta kursus dikehendaki membuat latihan amali dan pembentangan kertas cadangan dan laporan. Kursus ini diadakan selama dua hari, iaitu pada 23 Mei hingga 24 Mei 2023 di Akademi DBP." "Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu merupakan satu penghargaan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kepada ahli akademik universiti awam yang mengangkat bahasa Melayu dalam pelbagai bidang seperti penyelidikan, penerbitan, pengajaran dan khidmat ikhtisas.\nTimbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Dr. Aini Andria Shirin Anuarudin berkata, KPT sentiasa prihatin dengan usaha-usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu terutamanya di sektor pengajian tinggi kerana seperti yang sedia maklum kebanyakan buku rujukan di peringkat ini ialah dalam bahasa Inggeris.\nKatanya, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak KPT bagi memartabatkan bahasa Melayu dan satu daripadanya ialah anugerah ini.\n\u201cKPT telah menganjurkan Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu sejak tahun 2012 dan anugerah ini tercetus daripada Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu di Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2011-2015,\u201d katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia semalam.\nTambahnya, anugerah ini bagi menggalakkan para akademik di universiti awam menggunakan bahasa Melayu dalam proses pelajaran dan pembelajaran mereka.\nMenurut beliau, anugerah ini terbuka untuk semua bidang dan bukan hanya kepada tenaga pengajar Bahasa Melayu semata-mata. Permohonan bagi anugerah ini telah dibuka mulai 31 Mac 2023 dan akan berakhir pada 16 Jun 2023.\nBeliau berkata, sebanyak sembilan orang tokoh akademik telah menerima anugerah berkenaan sejak mula diperkenalkan pada tahun 2012.\nGenerasi sekarang banyak terdedah kepada bahasa lain seperti bahasa Inggeris dan bahasa Korea kerana pengaruh media. KPT melihat perkara ini penting untuk terus berusaha memartabatkan bahasa Melayu dengan memberikan galakan kepada para pensyarah untuk menggunakan bahasa Melayu, seterusnya mampu memberikan kesedaran kepada para pelajar agar menghargai, menyanjungi dan berasa bangga menggunakan bahasa Melayu.\nTambahnya lagi, selain Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu, terdapat dua lagi anugerah lain yang mengiktiraf para akademik dalam majlis yang dijangka bakal berlangsung pada bulan September nanti, iaitu Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu dan Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal.\nMaklumat lanjut mengenai anugerah tersebut boleh didapati di laman sesawang rasmi https://atabm.mohe.gov.my atau kemukakan pertanyaan kepada urus setia melalui e-mel [email\u00a0protected]." "Ayat yang Kelihatan Betul tetapi Sebenarnya Tidak Gramatis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nMengapakah ayat di bawah ini dikatakan tidak gramatis?\nPenyajak dan adik-beradiknya bersyukur kerana kepulangan ibu bapa mereka.\nDaripada:\nSunny Sung,\nSeremban, Negeri Sembilan." "Kajian Tahap Penggunaan Bahasa Kebangsaan di Tempat Awam di Daerah Keningau, Sabah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSabah \u2013\u00a0Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah telah melaksanakan Kajian Tahap Penggunaan Bahasa Kebangsaan di Tempat Awam di Daerah Keningau dengan kerjasama Majlis Daerah Keningau pada 24 Mei hingga 26 Mei 2023.\nAntara objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti tahap penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam di Daerah Keningau, khususnya pada papan tanda dan paparan awam seperti kain rentang, gegantung, poster dan brosur yang terdapat di taman rekreasi, bangunan kerajaan, sekolah, pusat beli-belah, hospital, taman perumahan, nama jalan dan sebagainya.\nSelain itu, melalui pelaksanaan kajian ini, sikap masyarakat terhadap bahasa kebangsaan mahupun bahasa sukuan di tempat awam dapat diketahui, selain mengusulkan saranan dan cadangan kepada pihak berkuasa tempatan sebagai tindakan susulan untuk penambahbaikan bagi memantapkan penggunaan bahasa kebangsaan yang selaras dengan Perkara 152 (I) yang menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.\nMenurut Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Keningau, Encik Mohd Fawzi Abdul Kadir menyatakan bahawa pihak mereka berbesar hati dan mengalu-alukan kerjasama untuk melaksanakan kajian ini bersama-sama agensi luar khususnya dengan DBP.\nSelain itu, hasil dapatan kajian ini juga dapat menjadi garis panduan dan penambahbaikan bagi Majlis Daerah Keningau untuk membantu dan memantapkan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam pada masa hadapan.\nKajian rintis di Sabah telah dilaksanakan di Bandaraya Kota Kinabalu pada tahun 2022 dan pada tahun ini akan diteruskan ke daerah lain di Sabah bagi mengumpul data terkini tentang tahap penggunaan bahasa di tempat awam." "Cara Penggunaan Kamus yang Betul\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSabah \u2013 Program Bersahabat dengan Kamus Siri 2/2023 yang diadakan di Dewan SMK Gunsanad II Keningau pada 26 Mei 2023 telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila sebanyak 434 orang pelajar tingkatan 4 dan tingkatan 5, serta beberapa orang guru telah menghadiri program tersebut.\nTerdahulu dalam ucapan pembukaannya, Cikgu Jeffri Ab.Hamid, iaitu Ketua Bidang Bahasa SMK Gunsanad II mengatakan bahawa sememangnya kamus tidak asing lagi dalam kalangan pelajar. Namun begitu, mereka hanya mengetahui fungsi asasnya sahaja tanpa mengetahui fungsi kamus itu secara lebih mendalam.\nSehubungan dengan itu, Puan Julianah Kuli, Ketua Unit Pembinaan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah diundang untuk mengendalikan sesi ceramah dan aktiviti program tersebut.\nMelalui sesi ceramah itu, pelbagai maklumat tentang perkamusan telah disampaikan dan antaranya termasuklah asas mentakrif entri kamus, cara penggunaan kamus yang betul dan penerangan maklumat\u00a0yang lebih terperinci dalam kamus.\nPada kali ini, program Bersahabat dengan Kamus\u00a0 telah diadakan serentak dengan Kajian Penggunaan Bahasa Kebangsaan di tempat awam di Daerah Keningau yang dilaksanakan oleh Unit Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP Cawangan Sabah yang bermula pada 24 Mei 2023 hingga 26 Mei 2023.\nSemasa menyampaikan ucapan penutupan, Pengetua SMK Gunsanad II, Encik Ng Min Hoo @ Mike Eping menyampaikan rasa terima kasihnya kepada DBP Cawangan Sabah, khususnya Unit Pembinaan Bahasa dan Sastera atas kerjasama dalam mengendalikan program tersebut. Beliau juga menyatakan bahawa para pelajar SMK Gunsanad II bertuah kerana berkesempatan untuk mengikuti program ilmu yang bermanfaat seperti itu.\nProgram tersebut diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata dan sesi bergambar beramai-ramai." "DBP Santuni Pelajar Pekak melalui Penerbitan Buku\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Murid pekak mendapat perhatian khusus daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi pelancaran buku Memahami Karangan Murid Pekak: Analisis Kesilapan Bahasa di Bilik Kuala Lumpur, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada pagi tadi bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023.\nProgram yang dianjurkan oleh DBP, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dan Institut Perguruan Ilmu Khas Kuala Lumpur ini dirasmikan oleh YBrs. Puan Hajah Salmah Jopri, Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, KPM.\nSebelum majlis pelancaran, penganjur mengadakan program Bicara Buku yang menampilkan YBhg. Prof. Dr. \u00a0Abdul Rahim \u00a0Razalli, Pengarah Akademik dan Antarabangsa, UPSI sebagai pengulas buku Memahami Karangan Murid Pekak: Analisis Kesilapan Bahasa .\nKetika membicarakan buku ini, YBhg. Prof. Dr. \u00a0Abdul Rahim \u00a0Razalli meluahkan kekagumannya terhadap penulis yang mampu menghasilkan bab yang berkesinambungan dengan setiap dakwaan dikukuhkan dengan bukti kajian yang pernah dilakukannya.\nBagi menjadikan penulisan buku ini lebih sempurna pada masa akan datang, YBhg. Prof. Dr. \u00a0Abdul Rahim \u00a0Razalli turut mencadangkan supaya penulisnya menyertakan elemen penterjemahan.\nSeterusnya, dalam sesi ucapan perasmian pula, YBrs. Puan Hajah Salmah Jopri menyatakan bahawa penerbitan buku ini amat bermakna dan memberikan sumbangan yang penting terhadap pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid pekak.\nPengarah Bahagian Pendidikan Khas ini amat menyarankan agar guru dan bakal guru menjadikan buku ini sebagai persediaan sebelum mengajar murid pekak mempelajari bahasa Melayu, khususnya penulisan karangan.\nYBrs. Puan Hajah Salmah Jopri turut menegaskan bahawa pihak KPM amat menyanjung tinggi usaha murni penulis yang tidak jemu-jemu menulis buku yang berkaitan dengan murid pekak agar golongan ini tidak terpinggir.\nPenulis buku ini, iaitu Dr. Abdullah Yusof pula berharap agar penerbitan buku ini mampu memahamkan masyarakat tentang liku-liku yang dilalui oleh murid pekak untuk mempelajari bahasa Melayu.\nSecara khususnya, buku ini memfokuskan cara pelajar pekak menulis, kesilapan yang dilakukan dan kualiti penulisan pelajar pekak berbanding dengan pelajar biasa yang sebaya dengan mereka. Akhir sekali, hasil penulisan mereka dianalisis bagi mendapatkan pelbagai maklumat yang berkaitan dengan proses ketika mereka menulis." "Bahasa Mengeratkan Perpaduan Masyarakat \u2013 YB Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u201cMenjadi tanggungjawab seorang penulis untuk meneroka bidang lain selain bidang yang dikuasainya. Contohnya, sarjana dahulu dilihat sangat bersepadu dan holistik seperti Ibnu Sina sebagai ahli perubatan, iaitu beliau juga seorang ahli pendidikan, ahli ilmu fardu ain dan fardu kifayah,\u201d kata YB Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan ketika berkongsi ilmu dalam program Sesi Bersama-sama Penulis di Reruai DBP, Dewan Tun Razak 3, Aras 3, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur pada pukul 3.00 petang tadi.\nTerdahulu YB Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan membaca sajak yang berjudul \u201cAduhai Desaku\u201c daripada buku kumpulan puisinya yang berjudul Mencari Makna Diri.\nMenurut YB Senator, bidang penulisan yang diceburinya pada peringkat awal adalah dalam penulisan cerpen (dahulunya dikenali sebagai\u00a0certot) yang bermula pada peringkat sekolah menengah. Puisi hasil karyanya pula diterbitkan dalam ruangan Puisi Siswa oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.\u00a0Seterusnya, beliau mencuba untuk menulis skrip drama radio.\nTambahnya, tulisannya pada peringkat awal banyak berkisar tentang hal ehwal kemasyarakatan dan kejiwaan. Selepas itu, penulisannya banyak bertumpu pada bidang bahasa.\nSelain itu, beliau juga menulis dalam hal yang berkaitan dengan pendidikan, falsafah, sastera dan budaya. Dalam bidang sastera kreatif, beliau menulis puisi yang berkaitan dengan hal ehwal semasa yang berlaku di tanah air (sewaktu beliau berada di Beijing). Hasilnya, terbit buku Mencari Makna Diri dan Di Denai Kehidupan. Terkini, beliau banyak menghasilkan puisi yang berbentuk tazkirah.\nMenurutnya lagi, penulisan puisinya berkisar tentang apa-apa yang berlaku di persekitaran yang terbit menerusi ilham dalam diri sendiri. Temanya berkisar tentang keluarga, rakan-rakan, pejabat, hal politik negara dan hubungan antarabangsa.\nSelain itu, dalam bidang perjuangan bahasa, beliau mengulas tentang nasib bahasa Melayu yang ada kalanya terpinggir dan juga tentang soal kebudayaan.\nBeliau turut menegaskan bahawa hal perpaduan dilihat sebagai isu yang perlu diangkat. Satu daripada caranya adalah melalui bahasa kerana bahasa itu jiwa bangsa. Maka itu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan harus dikuasai dan diutamakan oleh semua ahli masyarakat. Namun begitu, hal ini tidak menghalang masyarakat daripada\u00a0mempelajari bahasa lain selain bahasa Melayu.\nSesi perkongsian ilmu ini berakhir pada pukul 4.00 petang dengan alunan puisi oleh YB Senator yang berjudul \u201cMitos Bahasa\u201c yang berkisar tentang perjuangan bahasa." "Cikgu Zack Kirana Berkongsi Ilmu di PBAKL 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Program Sembang Akademi DBP bersama dengan Cikgu Zack Kirana telah berlangsung di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL 2023) yang bertempat di Pentas Utama, Aras 2, Dewan Tun Razak 3, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur pada pukul 10.00 pagi tadi.\nProgram ini anjuran Akademi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan telah mengundang Cikgu Zack Kirana atau nama sebenarnya, Saliza Ibrahim untuk berkongsi ilmu tentang kesalahan umum dalam tatabahasa dan ejaan dalam bahasa Melayu.\nMenurut Encik \u2018Azimin Daud, Perancang Bahasa DBP yang bertindak selaku moderator program tersebut, Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) telah digunakan oleh seantero dunia dan hingga kini, Jendela DBP pula telah diakses oleh 14 buah negara.\nSelain perkongsian ilmu oleh Cikgu Zack Kirana, sesi kuiz bahasa Melayu juga diadakan untuk mengenal pasti ejaan yang betul. Hadiah berupa senaskhah buku terbitan DBP diberi kepada penonton yang berjaya menjawab soalan kuiz dengan betul.\nAntara perkataan yang dikenal pasti ejaannya yang tepat termasuklah mi, reda, kuetiau dan kemik. Menurut Cikgu Zack Kirana, sekiranya meletakkan dua kali huruf vokal dalam satu kata, kedua-dua huruf vokal yang duduk bersebelahan itu mestilah dibunyikan. Contohnya, perkataan seperti taala, kuetiau dan suun.\nContoh bagi kata pinjaman dalam bahasa Mandarin, iaitu kuetiau juga sering mengalami kesalahan ejaan. Menurut Cikgu Zack Kirana, perkataan seperti kuetiau dan kuasa merupakan vokal bergabung yang mempunyai penyenyapan huruf w dan y. Ujarnya, \u201cInilah yang kita panggil vokal bergabung dalam bahasa Melayu\u201c.\nSelain itu, Cikgu Zack Kirana turut menjelaskan tentang sistem ejaan bagi kata ganda berentak. Menurut beliau, bagi menentukan kata ganda berentak sama ada perlu diletakkan tanda sempang ataupun tidak, lihatlah kata yang kedua. Sekiranya kata tersebut mempunyai makna, maka kata ganda berentak tersebut tidak perlu diletakkan tanda sempang. Contohnya, lalu lintas dan semak samun.\nWalau bagaimanapun, bagi kata kedua yang tidak mempunyai makna, kata ganda berentak itu mestilah diletakkan tanda sempang. Contohnya, sayur-mayur, dan gunung-ganang. Kata kedua dalam kata ganda berentak itu seperti mayur dan ganang tidak mempunyai makna dan memerlukan kata di hadapannya untuk berdiri. Oleh itu, tanda sempang diperlukan antara kata ganda berentak tersebut.\nOleh itu, bagi menjawab sebarang persoalan mengenai ejaan yang tepat bagi sesuatu kata, pengguna bahasa Melayu boleh melayari laman sesawang PRPM atau merujuk Kamus Dewan dan Kamus Dewan Perdana.\nUntuk rekod, Akademi DBP menyediakan pelbagai jenis kursus yang berkaitan dengan bahasa, sastera dan penerbitan. Sehubungan dengan itu, orang ramai yang berminat untuk mengikuti kursus yang ditawarkan oleh Akademi DBP bolehlah melayari laman sesawang https://akademi.dbp.my/ untuk maklumat lanjut." "DBP di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nMoto \u201cBangsa membaca, bangsa berjaya\u201d\u00a0menjadi trend tertinggi di media massa sejak belakangan ini, yang menjadi pemangkin kepada masyarakat Malaysia MADANI\u00a0untuk mencari bahan bacaan yang berkualiti sebagai santapan minda dan rohani. Hal ini berkemungkinan besar ada kaitannya dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 edisi ke- 40 yang telah bermula dari 26 Mei 2023 dan akan berakhir pada 4 Jun 2023.\nBahang kemeriahan sambutan PABKL dapat dirasai seakan-akan menyambut perayaan penting dalam negara. Begitulah yang kita harapkan agar semangat mencintai buku terus dilestarikan. Warganet juga sangat aktif dengan perkongsian di media sosial masing-masing, yang sedikit banyak membantu mempromosikan PBAKL. Perkara yang baik ini perlu diraikan dan sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menyebarluaskan program penting ini sebagai tanda sokongan padu.\nMasyarakat Malaysia MADANI\u00a0yang masih belum berkesempatan hadir perlu mengambil peluang keemasan ini dengan berpakat beramai-ramai ke PBAKL yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur,\u00a0sementelah musim cuti sekolah jatuh pada tarikh yang sama. Justeru itu, bagi ibu bapa yang tinggal berdekatan, janganlah pula menjadikan alasan kesesakan jalan raya sebagai punca utama untuk tidak membawa anak-anak ke PBAKL. Perkara yang penting ialah memesrakan anak-anak dengan persekitaran gedung ilmu yang menyediakan pelbagai genre bacaan dan bentuk penyampaian yang mengikut arus teknologi perdana.\nPembangunan kualiti insan perlu dibentuk sejak dari kecil bagi melahirkan generasi yang cintakan ilmu. Jika tidak dilentur sedari awal lagi agak sukar untuk mengubah sikap golongan ini di kemudian hari. Ibarat ikat boleh diubah, takuk bagaimana mengubahnya? yang membawa maksud; perangai yang sudah menjadi tabiat adalah sukar sekali untuk mengubahnya. Buluh yang keras juga sukar untuk dilenturkan jika tidak dari rebungnya lagi. Tindakan awal dan pantas daripada ibu bapa tidak akan mendatangkan kerugian malah membawa kemaslahatan dengan memacu kemajuan dalam arena keilmuan.\nSaban tahun, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak pernah ketinggalan menyertai PBAKL sebagai institusi yang berpengaruh dalam memacu perkembangan bahasa dan sastera negara. Pada kali ini, DBP telah membuka gelanggang promosinya menerusi media sosial di BERNAMA Radio pada 25 Mei 2023. Encik Zulfa Hamzah, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP diundang menerusi Segmen Cakna Bahasa\u00a0bagi berkongsi pelbagai aktiviti yang dianggarkan sebanyak 25 aktiviti yang akan diadakan di reruai DBP,\u00a0yang terletak di Dewan Tun Razak, Aras 3,\u00a0dengan keluasan tapak sebanyak 20 buah reruai.\nDBP\u00a0sebagai penerbit unggul negara\u00a0menawarkan potongan harga buku dan majalah secara berstruktur dan mampu milik yang disediakan kepada para pencinta buku. Potongan sebanyak 25 peratus untuk kamus dan judul terpilih, judul am sebanyak 30-50 peratus, majalah bulanan semasa\u00a0sebanyak\u00a030 peratus, majalah bukan bulan semasa sebanyak 50 peratus, set majalah lama yang dijual pada harga RM10 dan majalah eceran (lama) yang boleh didapati dengan hanya RM1.\nPenawaran diskaun sebegini perlu digunakan sebaik-baiknya oleh pembeli daripada\u00a0pelbagai lapisan terutamanya penyelidik bahasa untuk mendapatkan buku-buku yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh bahasa bagi mendapat maklumat terkini ataupun berkenaan sejarah dan sistem dalam bahasa Melayu.\nPemakluman carta 10\u00a0teratas buku terlaris oleh DBP di Facebook rasminya juga dapat membantu pembeli yang akan bertandang ke reruai DBP untuk memilih buku-buku tersebut. Perkhidmatan kaunter jual beli DBP dan staf yang mesra pengguna akan memudahkan pembeli mencari buku yang dikehendaki dengan lebih mudah.\nSecara dominasinya, penggunaan tema yang berwarna biru telah menyerlahkan reruai DBP dengan keluasan lantai yang agak besar dan selesa bagi setiap pengunjung yang ingin mencari buku kegemaran masing-masing di samping pentas utama yang sesuai bagi mengadakan pelbagai aktiviti bersama-sama pelanggan.\nAntara aktiviti yang menjadi keutamaan DBP termasuklah\u00a0bual bicara karya, pelancaran buku dan sesi bersama-sama penulis bagi memperkenalkan karya-karya pelbagai genre yang telah diterbitkan oleh DBP. Program sebegini sangat penting untuk memperkenalkan penulis terutamanya penulis baharu dan juga penulis lama yang bergelumang dalam dunia penyelidikan dan penulisan.\nPelaksanaan aktiviti ini akan memberikan\u00a0ruang kepada penulis untuk melakukan persuasif secara langsung terhadap penjualan dan pembelian buku. Sementara itu,\u00a0audiens juga mendapat manfaat dengan mengetahui kandungan utama dan perkara penting yang ingin dijelaskan oleh penulis. Hal ini juga akan dapat dijadikan panduan bagi para penulis\u00a0muda yang ingin menerbitkan buku dan penerbit juga mampu mendapat keuntungan daripada penjualan dan permintaan buku daripada pembaca. Hubungan timbal balik ini adalah strategi terbaik hasil daripada aktiviti DBP yang dapat mengeratkan lagi hubungan tiga serangkai antara penulis, penerbit dan pembaca.\nSatu lagi aktiviti menarik yang diadakan ialah \u201cSeronoknya Membaca: Ceritalah Lagi dan Kuiz\u201d. Aktiviti ini telah menarik minat pelajar prasekolah dan sekolah rendah tahap satu untuk hadir ke reruai DBP. Teknik bercerita dengan menggunakan buku bergambar dan teknik boneka dan kostum haiwan sangat digemari oleh kanak-kanak kerana berjaya membawa alam fantasi dan imaginasi golongan ini.\nKanak-kanak juga mudah faham dan menimbulkan keterujaan mereka terhadap buku yang dibaca oleh pencerita. Sementara itu, cadangan menganjurkan pertandingan kanak-kanak bercerita pendek dan secara spontan juga boleh dilakukan agar dapat menonjolkan bakat terpendam mereka.\nGandingan aktiviti bersama-sama kuiz juga sangat membantu meningkatkan ketajaman ingatan kanak-kanak melalui ulang tanya seusai sesi bercerita. Selain itu, aktiviti mengeja dan membaca dengan lancar dapat meningkatkan kemahiran berbahasa, membina keterampilan serta memupuk nilai murni, malahan hadiah yang diberikan oleh pihak DBP juga merangsang kepada pembacaan bahan-bahan ilmiah.\nPendekatan ini sekali\u00a0gus akan memberikan motivasi dan elemen kegembiraan kepada kanak-kanak apatah\u00a0lagi para staf DBP yang bertugas sememangnya arif melayani kanak-kanak dan berbakat dalam menjayakan aktiviti tersebut. Usaha DBP ini secara langsung telah menyemai minat kanak-kanak untuk membaca dan menyokong pembentukan masyarakat celik ilmu.\nSembang Akademi DBP bersama\u00a0dengan Cikgu Zack Kirana\u00a0pada 30 Mei 2023 juga antara alternatif DBP dalam usaha membudayakan bahasa Melayu dalam\u00a0kalangan masyarakat. Dalam program ini, Cikgu Zack Kirana berkongsi kaedah penggunaan bahasa Melayu dengan betul di samping memperkenalkan kursus-kursus yang ditawarkan oleh DBP bagi meningkatkan penguasaan bahasa Melayu. Mungkin juga slot seperti ini perlu diperbanyak pada masa akan datang agar pengunjung yang singgah mendapat informasi yang banyak khususnya dengan \u00a0memperkenalkan istilah baharu yang terdapat dalam Kamus Perdana.\nDBP di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 sering menjadi tumpuan para pencinta buku. Koleksi buku yang bervariasi dan aktiviti-aktiviti menarik yang dirancangkan adalah sebagai pemangkin kepada masyarakat agar terus erat dengan dunia ilmu. DBP sentiasa mengikut arus perdana dalam menerbitkan buku-buku untuk keperluan umum. Oleh itu, sebagai tanda sokongan, marilah kita bersama-sama mengunjungi reruai DBP dan menyokong aktiviti yang dijalankan. Ingat buku, ingat DBP!\n\u00a0\nProfesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad \u2212 Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, yang juga Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan." "Forum dan Pidato Nusantara Menyemarakkan Ulang Tahun KEPENTAS Ke-12\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2212 Kelab Pidato Perdana Nusantara (KEPENTAS) meraikan majlis sambutan ulang tahun penubuhannya yang ke-12 pada tahun ini dengan tema \u201cBahasa Melayu sebagai Bahasa Dunia\u201d. Kemuncak sambutan majlis tersebut ialah Pusingan Akhir Pertandingan Pidato Piala Nusantara 2021, yang berlangsung pada 10 Julai 2021 secara dalam talian, yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi Kelab Pidato Perdana Antarabangsa.\nPusingan pada peringkat akhir membariskan 12 orang pemidato yang berentap untuk merebut gelaran juara. Selain Malaysia, pemidato juga mewakili negara Singapura, Brunei Darussalam dan Indonesia. Yang menariknya, selain dihakimi oleh juri profesional, pihak urus setia juga memberikan peluang kepada penonton untuk memberikan penilaian melalui markah juri awam sebanyak 10 peratus.\nGelaran johan diraih oleh Hashim Borham dari Melaka, yang menerima piala pusingan dan wang tunai berjumlah RM3000.00. Naib johan yang menerima wang tunai RM2000.00 diberikan kepada Azmi Ismail dari Teluk Intan, manakala Hairul Anuar Sobikin dari Johor Bahru menerima wang tunai RM1000.00 selaku pemenang tempat ketiga. Syahmi Aiman Zainal Azman yang mewakili zon Pusat Bandar Raya memenangi tempat keempat dan Mohamad Fitri Mohd Razali dari Taiping di tempat kelima menerima wang tunai RM750.\nTujuh peserta lain pula menerima hadiah sagu hati yang bernilai RM500.00. Mohd Asri Ismail selaku Ketua Juri dalam ucapannya berkata, \u201cGelaran pemenang dan jenis hadiah memang sesuatu yang diburu oleh semua pemidato tetapi perkara yang paling penting ialah keberanian pemidato tampil dengan penuh yakin dalam menyampaikan pidato mereka, khususnya berpidato dalam bahasa Melayu dengan baik.\u201d\nUsai pertandingan pidato, kemeriahan sambutan ulang tahun KEPENTAS Ke-12 diteruskan dengan Forum Nusantara yang menampilkan empat ahli panel yang mewakili empat negara, iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam. Forum yang membicarakan tajuk \u201cBahasa Melayu sebagai Bahasa Dunia\u201d mengetengahkan Ruddy M. Hams sebagai moderator, dengan ahli panel seperti Absar Burhan dari Malaysia, Walid Adriansyah dari Indonesia, Dr. Hajah Dayang Fatimah dari Brunei Darussalam dan Muhammad Khalid Zainul dari Singapura. Ternyata semua ahli panel bersetuju bahawa bahasa Melayu itu sendiri menyimpan banyak keindahan, yang keindahan itu dapat dilihat menerusi pantun, syair dan gurindam, malah dalam seni berpidato itu jelas menampakkan berapa indahnya ragam bahasa, nada dan kata-kata dalam bahasa Melayu itu sendiri.\nMajlis sambutan itu diakhiri dengan ucapan perasmian oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran, yang turut menyampaikan hadiah secara maya kepada pemenang pertandingan akhir Pidato Piala Nusantara 2021. Dalam ucapannya, Datuk Abang Salehuddin mengucapkan tahniah kepada KEPENTAS yang kekal bertahan selama 12 tahun, dan tempoh itu memberikan gambaran wujudnya kerjasama yang baik daripada semua ahli terhadap KEPENTAS.\n\u201cTeruskan kerjasama dengan DBP apatah lagi melalui program yang menarik seperti yang berlangsung pada hari ini. Bagi DBP sendiri, kerjasama dalam program kebahasaan antara negara Nusantara memang sudah lama berlangsung, misalnya melalui MABBIM,\u201d demikian kata Ketua Pengarah DBP yang berharap pandemik COVID-19 akan berakhir agar semua program kebahasaan dan kesusasteraan Melayu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.\nDalam ucapannya, Presiden KEPENTAS, iaitu Sandy Tan dengan tegas menyatakan hasratnya yang ingin melihat KEPENTAS terus relevan dengan program anjurannya pada masa akan datang, dan juga kelangsungan KEPENTAS melalui program yang mantap, selain ditunjangi oleh ahli yang komited dan setia dengan KEPENTAS.\n\u201cKelangsungan program KEPENTAS juga memerlukan kerjasama daripada pihak lain, terutama DBP sebagai badan bahasa yang kekal utuh hingga hari ini,\u201d demikian kata Sandy mengakhiri ucapannya.\nSepanjang siaran langsung sambutan ulang tahun KEPENTAS Ke-12, siaran maya dikemudikan oleh DJ Rizz yang ternyata berjaya \u201cmenghidupkan\u201d majlis walaupun diadakan secara dalam talian. DJ Rizz mengakhiri kata-katanya dengan lafaz indah, \u201cTeruskan memberikan sokongan kepada DBP, bersama-sama kita martabatkan bahasa Melayu dan kita gemakan laungannya dari Malaysia ke Nusantara\u201d." "Kehalusan Berkomunikasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKehalusan komunikasi melibatkan penggunaan bahasa yang sopan, manis dan beradab semasa seseorang menyatakan sesuatu perkara atau berlawan cakap dengan orang lain. Dengan penggunaan bahasa yang halus, kita dapat memelihara hubungan yang mesra. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak yang berkenaan akan berasa senang hati dan ingin terus bergaul dengan kita, atau menyokong usaha kita.\nPenggunaan bahasa yang sopan menjadi semakin penting apabila kita berhubung dengan orang yang lebih tua, berpangkat lebih tinggi atau dalam hubungan rasmi. Hal ini dikatakan demikian kerana penggunaan bahasa yang kasar mungkin menyebabkan kita ditegur, dikenakan tindakan atau dipandang serong oleh masyarakat. Selain itu, dalam ujaran lisan, bahasa halus perlu disampaikan dengan nada suara yang rendah dan lembut agar tidak menyinggung perasaan orang lain.\nPenggunaan bahasa halus melibatkan penggunaan kata ganti atau kata alternatif bagi kata yang kurang sedap didengar atau mempunyai erti emotif yang negatif. Hal ini jelas dalam keadaan yang berhubungan dengan manusia tertentu. \u00a0Sebagai contoh, kata ibu tunggal\u00a0(wanita yang tidak bersuami) lebih sedap didengar berbanding dengan kata janda\u00a0(wanita yang sudah bercerai atau kematian suami).\nContoh lain ialah kata pengawal keselamatan\u00a0terasa lebih hormat daripada kata jaga, kata pembantu rumah\u00a0lebih sesuai daripada kata orang gaji, dan kata pekerja seks\u00a0atau kupu-kupu malam\u00a0lebih elok daripada kata pelacur.\u00a0Untuk merujuk orang yang sudah berkahwin, kata suami\u00a0atau bapa budak\u00a0dirasakan lebih sesuai daripada kata laki, dan kata isteri\u00a0atau orang rumah\u00a0dianggap lebih sopan daripada kata bini. Bagi merujuk si mati\u00a0pula, kata arwah, mendiang, Allahyarham\u00a0atau Almarhum\u00a0tentulah lebih sesuai. Bagi merujuk mayat\u00a0pula, kata yang lebih halus ialah jenazah.\nSekarang kata haram sudah tidak lagi digemari oleh kebanyakan orang. Hal ini berlaku demikian mungkin kerana konotasi kat haram\u00a0terlalu negatif dan kurang sesuai. Sebagai contoh, kata rumah haram lebih sesuai diganti dengan kata rumah setinggan, anak haram sepatutnya dipanggil anak luar nikah, dan pendatang haram\u00a0sepatutnya disebut sebagai pendatang tanpa izin.\nAda juga anggota badan yang dirasakan kurang manis kalau disebut secara langsung dan perlu diganti dengan kata lain. Contohnya ialah kemaluan\u00a0patut diganti dengan alat kelamin lelaki atau perempuan, dan tetek\u00a0diganti dengan kata buah dada\u00a0atau payudara. Dengan itu wujudlah istilah penyakit kelamin\u00a0dan penyakit barah payudara.\nBagi hal yang berkaitan dengan tahi\u00a0atau kencing, terdapat juga kata gantinya. Sebagai contoh, kata berak\u00a0dan kencing\u00a0diganti dengan frasa membuang air besar\u00a0atau membuang air kecil. Namun begitu, ada orang yang hanya menyatakan hal demikian secara tidak langsung, iaitu ingin ke tandas\u00a0atau mahu ke bilik air.\nDalam bidang perubatan pula, kata kencing\u00a0dan berak\u00a0dibolehkan untuk tujuan ketepatan dan pemudahan pemahaman, seperti penyakit kencing manis, kencing darah, kencing nanah, ujian air kencing, berak darah, berak cair\u00a0dan sebagainya.\nDalam peribahasa warisan budaya kita pula, terdapat contoh guru kencing berdiri, murid kencing berlari. Selain itu, kini kita tidak lagi menamai tempat membuang air besar dan air kecil sebagai jamban, tetapi menggantinya dengan kata tandas\u00a0atau bilik\u00a0air.\nAda juga sejumlah kata kerja yang cenderung diganti orang dengan kata yang lebih halus. Contohnya, kata kentut\u00a0diganti dengan buang angin, frasa datang haid\u00a0diganti dengan datang bulan, mati\u00a0diganti dengan meninggal dunia\u00a0atau pulang ke rahmatullah, menguburkan\u00a0diganti dengan mengebumikan, beranak\u00a0diganti dengan bersalin, dan hamil\u00a0diganti dengan berbadan dua.\nPada zaman ini, kebanyakan orang tidak suka dikatakan sebagai gemuk. Oleh itu, kata gemuk\u00a0mungkin diganti dengan frasa semakin\u00a0sihat\u00a0untuk menjaga hati pihak yang dimaksudkan itu.\nUmum mengetahui bahawa perbuatan merokok memudaratkan kesihatan dan membazirkan wang. Oleh itu, pelbagai pihak berusaha untuk membanterasnya dengan mendirikan papan tanda dan merentangkan sepanduk yang pelbagai. Ada papan tanda yang bernada keras dan tegas seperti \u201cLarangan merokok. Denda RM10,000/Penjara 2 tahun\u201d, \u201cJangan merokok\u201d, \u201cDilarang merokok\u201d, \u201cBerhenti merokok\u201d, \u201cKawasan Larangan Merokok\u201d dan \u201cAmaran! dan\u00a0\u201cJangan jual rokok seludup\u201d. Ketegasan mesej yang berkenaan menekankan kepentingan tindakan berhenti merokok agar dipatuhi umum.\nWalau bagaimanapun, ada papan tanda yang lebih bersifat memujuk dengan menyatakan keburukan merokok. Contohnya ialah \u201cTak nak! Setiap sedutan membawa padah\u201d, dan \u201cMatikan rokok anda sekarang sebelum rokok mematikan anda dan orang di sekitar anda\u201d. Ada juga papan tanda yang cuba memujuk orang ramai dengan menyatakan kebaikan berhenti merokok. Contohnya ialah \u201cHidup sihat tanpa merokok\u201d.\nAda papan tanda yang memancing kerjasama umum dengan nada pujukan. Contohnya ialah \u201cJadikanlah sekolah kita kawasan tanpa rokok\u201d, \u201cKami menyokong larangan merokok di premis makanan\u2019 dan \u201cTerima kasih kerana tidak merokok\u201d. Namun demikian, ada juga papan tanda yang bernada neutral dengan mesej seperti \u201cKawasan bebas asap rokok\u201d dan \u201cToleransi sifar terhadap rokok seludup\u201d.\nLarangan atau pujukan juga dapat kita perhatikan dalam hal lain. Di perpustakaan, mungkin terdapat papan tanda \u201cJangan membising\u201d atau \u201cTolong senyap\u201d. Di pejabat kerajaan mungkin terdapat papan tanda \u201cJangan masuk tanpa urusan\u201d, atau \u201cSila masuk jika ada urusan\u201d. Dalam hal penjagaan kebersihan, mungkin terdapat papan tanda yang berbunyi \u201cJangan buang sampah merata-rata\u201d, \u201cDilarang buang sampah di sini\u201d atau \u201cJagalah kebersihan sungai anda\u201d, \u201cJagalah kebersihan taman perumahan kita\u201d, dan sebagainya.\nPada umumnya, masyarakat kita sekarang kelihatan sedang beralih daripada bahasa yang tegas kepada bahasa halus agar mesej yang disampaikan akan mendapat sokongan ramai, bukan bangkangan dan penentangan.\nPenggunaan bahasa halus juga berkaitan dengan penggunaan kata ganti nama diri, panggilan dan gelaran yang sesuai. Jika kita berurusan dengan golongan yang lebih tua atau berpangkat lebih besar, adalah kurang sopan jika kita menggunakan kata ganti nama seperti aku, awak, engkau\u00a0dan kamu. Sebaliknya, kita patut menggunakan ganti nama dan panggilan/gelaran seperti saya, tuan, encik, puan, pak cik, mak cik, dan sebagainya.\nDalam keluarga, kita menggunakan panggilan hormat seperti datuk, nenek, ibu, ayah, pak cik, mak cik, kakak\u00a0dan abang\u00a0kepada ahli keluarga yang lebih tua. Dalam hubungan kita dengan ahli masyarakat yang berkedudukan tinggi, gelaran atau rujukan hormat yang sesuai harus kita gunakan, seperti Datuk, Tan Sri, Tun, Yang Berhormat, dan sebagainya.\nDalam penggunaan ayat perintah, terdapat pilihan kata perintah yang lebih halus dan lebih lembut seperti sila, jemput, minta, tolong\u00a0dan harap. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n1a. \u00a0Hantar buku ke hadapan.\n1b. \u00a0Minta hantar buku ke hadapan.\n1c. \u00a0Tolong hantar buku ke hadapan.\n1d. \u00a0Hantarlah\u00a0buku ke hadapan.\n\u00a0\n2a. \u00a0Masuk.\n2b. \u00a0Sila masuk.\n2c. \u00a0Jemput duduk.\n2d. \u00a0Masuklah.\n\u00a0\n3a. \u00a0Tolong saya sekejap.\n3b. \u00a0Harap\u00a0tolong saya sekejap.\n3c. \u00a0Tolonglah\u00a0saya sekejap.\n3d. \u00a0Dapatkah\u00a0tolong saya sekejap?\n\u00a0\nDalam kelompok ayat 1, ayat yang berpangkalkan kata perintah minta\u00a0dan tolong\u00a0atau ditambah partikel pelembut -lah\u00a0(lihat ayat 1b, 1c dan 1d) lebih sopan dan lebih halus berbanding dengan ayat 1a.\nDalam kelompok ayat 2, ayat yang berpangkalkan kata perintah sila\u00a0dan jemput\u00a0atau ditambah partikel pelembut -lah\u00a0(lihat ayat 2b, 2c dan 2d) lebih sopan dan lebih halus berbanding dengan ayat 2a.\nDalam kelompok ayat 3, ayat yang berpangkalkan kata perintah harap\u00a0atau ditambah partikel pelembut -lah\u00a0(lihat ayat 3b dan 3c) lebih sopan dan lebih halus berbanding dengan ayat 3a. Bagi ayat 3d pula, ayat perintah ditukar kepada ayat tanya untuk menampilkan bahasa yang lebih halus dan lebih beradab." "Za\u2019ba Umpama Kilauan Kota yang Tidak Padam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nZa\u02bbba atau Zainal Abidin bin Ahmad diibaratkan sebuah kota yang penuh dengan khazanah keilmuan. Dari kota ini, terpancar kilauan terang yang menjadi panduan bagi semua orang yang melihatnya. Kilauan ini pula masih dapat dilihat hingga hari ini sebagai panduan generasi kini dan generasi akan datang.\nTokoh ini ialah tokoh bahasa yang berpengaruh pada era tahun 1930-an. Beliau ialah sarjana dan ahli fikir Melayu yang banyak berkecimpung dalam bidang bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu, serta agama Islam.\nAntara semua bidang yang diceburinya, Za\u02bbba telah meninggalkan pengaruh yang lebih menyeluruh dan bermakna dalam bidang bahasa sehingga namanya sering dikaitkan dengan tatabahasa atau nahu Za\u02bbba. Dalam erti kata lain, Za\u02bbba lebih dikenali sebagai ahli bahasa kerana pendekatan nahu yang dipeloporinya digunakan dalam pengajaran bahasa Melayu di sekolah.\nSumbangan beliau amat besar apabila tatabahasa yang dikemukakan dalam karyanya, Pelita Bahasa Melayu yang terdiri daripada tiga jilid pernah menjadi pedoman dan panduan guru bahasa Melayu pada suatu ketika dahulu.\nSebenarnya, Za\u02bbba memberikan sumbangan yang banyak dalam bidang bahasa apabila berperanan sebagai perancang kurikulum sekolah, penterjemah dan pensyarah. Pendekatan nahu Za\u02bbba masih mempengaruhi perkembangan bahasa Melayu hingga kini walaupun beliau sudah meninggal dunia pada 23 Oktober 1973 sewaktu berusia 78 tahun.\nSecara umumnya, pendekatan nahu Za\u02bbba dari aspek morfologi dan sintaksis dapat dibahagikan kepada empat judul besar, iaitu kata, penambah, rangkai kata dan ayat. Pendekatan nahu Za\u02bbba menunjukkan pengaruh yang ketara daripada tatabahasa Inggeris tradisional. Hal ini tidak dinafikan oleh beliau.\nDari aspek kata, Za\u02bbba membahagikan kata kepada lima golongan, iaitu nama, perbuatan, sifat, sendi dan seruan. Pembahagian seumpama ini dapat ditemukan dalam buku tatabahasa Inggeris tradisional.\nKriteria yang digunakan oleh Za\u02bbba untuk mentakrifkan golongan kata ialah kriteria makna. Walau bagaimanapun, kriteria makna tidak digunakan untuk mentakrifkan golongan sendi.\nDalam Pelita Bahasa Melayu (Jilid 1), Za\u02bbba menggunakan kriteria fungsi untuk mentakrifkan golongan sendi. Dalam definisi beliau, kata sendi ialah kata yang menyambungkan antara kata dengan kata atau antara bahagian cakap, seperti \u201cdengan\u201d, \u201coleh\u201d, \u201cakan\u201d, \u201catau\u201d, \u201ctetapi\u201d, dan \u201cjika\u201d.\nZa\u02bbba menggunakan kriteria fungsi kerana kata sendi sukar dijelaskan berdasarkan makna. Berbeza daripada golongan sendi, golongan kata yang lain, iaitu nama, perbuatan, sifat dan seruan dapat diterangkan dengan mudahnya berdasarkan makna.\nBerdasarkan definisi kata nama yang diberi oleh Za\u02bbba, didapati bahawa beliau juga memasukkan kata ganti nama. Hal ini amat wajar. Namun begitu, Za\u02bbba tidak menggolongkan kata, seperti \u201ckeadaan\u201d, \u201ckecantikan\u201d, \u201ckepanasan\u201d, \u201cperadaban\u201d dan \u201cpemeriksaan\u201d sebagai kata nama kerana kata tersebut bukannya benda atau orang.\nBukan itu sahaja, kata-kata tersebut juga tidak dapat dimasukkan dalam mana-mana golongan yang lain yang didefinisikan oleh Za\u02bbba kerana kata tersebut bukannya perbuatan, sifat, sendi atau seruan.\nDengan ini, jelaslah bahawa pendekatan nahu Za\u02bbba dipengaruhi oleh pengajaran bahasa Inggeris secara tradisional yang mendefinisikan kata nama sebagai kata yang mewakili atau melambangkan nama sesuatu objek, sama ada objek bernyawa atau objek tidak bernyawa.\nBerdasarkan definisi oleh Za\u02bbba terhadap golongan kata perbuatan, didapati bahawa perbuatan tidak terhad pada tindakan yang memperlihatkan gerak fizikal sahaja, tetapi turut merangkumi apa-apa yang dikenali sebagai \u201ckeadaan\u201d.\nDengan ini, kata yang memperlihatkan gerak fizikal, seperti \u201cambil\u201d, \u201cberi\u201d, dan \u201cpergi\u201d dapat digolongkan dalam kategori yang sama dengan kata yang langsung tidak memperlihatkan gerak fizikal, seperti \u201cmahu\u201d, \u201cada\u201d, \u201cjadi\u201d, dan \u201cdapat\u201d.\nMenerusi penjelasan ini, dapat ditunjukkan bahawa definisi yang diberikan oleh Za\u02bbba terhadap golongan kata perbuatan tidak terikat pada definisi tradisional dalam pengajaran bahasa Inggeris.\nBerdasarkan definisi tersebut, kata kerja atau kata perbuatan merupakan kata yang mewakili atau melambangkan tindakan. Sekiranya definisi ini digunakan dalam pendekatan nahu Za\u02bbba, pastilah kata, seperti \u201cmahu\u201d, \u201cada\u201d, \u201cjadi\u201d, dan \u201cdapat\u201d tidak dapat dimasukkan dalam golongan kata perbuatan atau mana-mana golongan kata yang lain.\nMenurut pendekatan nahu Za\u02bbba, kata sifat bukan sahaja merangkumi kata yang menerangkan kata nama, tetapi juga merangkumi kata yang menerangkan perbuatan. Contoh yang diberi oleh Za\u2019ba adalah seperti \u201cbesar\u201d, \u201cbodoh\u201d, \u201cpandai\u201d, \u201csegera\u201d, dan \u201cselalu\u201d pula dibahagikan kepada kata adjektif dan kata adverba dalam tatabahasa Inggeris tradisional.\nHal ini membuktikan bahawa definisi yang diberikan oleh Za\u02bbba terhadap golongan kata sifat tidak mengikut definisi yang terdapat dalam tatabahasa Inggeris tradisional. Za\u2019ba menggunakan kriteria makna untuk mendefinisikan golongan kata sifat, manakala tatabahasa Inggeris tradisional menggunakan kriteria fungsi untuk mendefinsikan kata sifat dan kata adverba.\nSementara itu, definisi yang diberi oleh Za\u02bbba untuk menjelaskan kata seruan benar-benar menepati makna kata seruan itu dan situasi penggunaannya. Walau bagaimanapun, ilmu linguistik pada masa ini menjelaskan bahawa satu daripada ciri khusus kata seruan ialah kewujudan intonasinya. Aspek intonasi tidak disebut oleh Za\u02bbba dalam karyanya.\nDaripada kelima-lima golongan kata tersebut, Za\u02bbba berpendapat bahawa golongan kata nama dan kata perbuatan adalah yang paling penting kerana tanpa kedua-dua golongan kata tersebut, seseorang penutur bahasa tidak dapat menyebut apa-apa yang hendak diujarkan.\nKesedaran Za\u02bbba mengenai hal ini selari dengan pengakuan ahli linguistik tentang keuniversalan kata nama dan kata perbuatan. Hal ini dikatakan demikian kerana semua bahasa di dunia mempunyai golongan kata nama dan kata perbuatan, tetapi golongan kata lain, seperti kata sendi, kata sifat dan kata seruan, tidak semestinya wujud dalam semua bahasa di dunia ini." "Antara Adverba Jati dengan Adverba Konteks\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata adverba ialah kata tugas yang menghuraikan sesuatu perbuatan atau keadaan. Perkara yang dihuraikan melibatkan sebilangan kata kerja, kata adjektif, frasa sendi nama dan kata adverba. Kata adverba dapat hadir di hadapan atau di belakang kata dan frasa. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a. \u00a0Dia rajin\u00a0berusaha.\n1b. \u00a0Dia sakit tenat.\n1c. \u00a0Dia segera\u00a0ke kampung.\n1d. \u00a0Dia sangat\u00a0cepat bertindak.\n\u00a0\nDalam ayat 1a, kata adverba rajin\u00a0menghuraikan kata kerja berusaha. Dalam ayat 1b, kata adverba tenat\u00a0menghuraikan kata adjektif sakit. Dalam ayat 1c, kata adverba segera\u00a0menghuraikan frasa sendi nama ke kampung. Dalam ayat 1d, kata adverba sangat\u00a0menghuraikan adverba cepat\u00a0yang menghuraikan kata kerja bertindak. Walau bagaimanapun, dalam konteks ayat yang lain, kata rajin, tenat\u00a0dan segera\u00a0ialah kata adjektif yang menghuraikan kata nama, dan kata sangat\u00a0ialah penguat yang menghuraikan kata adjektif.\nAdverba terbahagi kepada adverba jati dan adverba konteks. Adverba jati ialah adverba yang hanya berfungsi sebagai adverba, manakala adverba konteks merupakan golongan kata lain yang dapat berfungsi sebagai adverba. Seterusnya, adverba jati dapat dibahagikan lagi kepada beberapa kategori seperti yang berikut:\nkadang, jarang-jarang, sering kali, kerap kali, acap kali, kadangkala,\nsekali-sekali, sekali-sekala\niii. adverba kesalingan: saling\n\u00a0\nSila lihat contoh ayat yang berikut:\n2a. \u00a0Dia sering\u00a0ke perpustakaan.\n2b. \u00a0Dia jarang-jarang\u00a0berusaha.\n2c. \u00a0Dia nyaris-nyaris\u00a0cedera.\n2d. \u00a0Dia sempat\u00a0menolong jirannya.\n2e. \u00a0Mereka saling\u00a0membantu.\n2f. \u00a0\u00a0Mereka sama-sama\u00a0berseronok.\n\u00a0\nDalam ayat 2a, kata adverba sering menghuraikan frasa sendi nama ke\u00a0perpustakaan\u00a0(struktur permukaan) atau pergi\u00a0ke\u00a0perpustakaan\u00a0(struktur dalaman). Dalam ayat 2b, adverba jarang-jarang\u00a0menghuraikan kata kerja tak transitif berusaha. Dalam ayat 2c, adverba nyaris-nyaris\u00a0menghuraikan kata kerja tak transitif cedera. Dalam ayat 2d, adverba sempat\u00a0menghuraikan frasa kerja menolong jirannya. Dalam ayat 2e, adverba saling\u00a0menghuraikan kata kerja membantu. Dalam ayat 2f, adverba sama-sama\u00a0menghuraikan kata kerja tak transitif berseronok.\nAdverba konteks atau adverba keadaan ialah kata golongan lain yang dapat berfungsi sebagai adverba jika menghuraikan sesuatu perbuatan atau keadaan. Contohnya ialah kata nama, kata kerja dan kata adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:\n3a. \u00a0Esok\u00a0ialah hari cuti.\n3b. \u00a0Dia akan tiba esok.\n3c. \u00a0Dia ke kampung esok.\n\u00a0\nDalam ayat 3a, kata esok\u00a0ialah kata nama yang menduduki gatra subjek ayat. \u00a0Itulah golongan kata yang asal bagi kata esok. Namun demikian, kata nama esok\u00a0dapat berfungsi sebagai kata adverba dalam konteks lain. Dalam ayat 3b, kata esok\u00a0menghuraikan frasa kerja akan tiba. Dalam ayat 3c, kata esok\u00a0menghuraikan frasa sendi nama ke kampung. Oleh itu, kata esok\u00a0ialah kata nama yang dapat berfungsi sebagai kata adverba untuk menghuraikan masa sesuatu kejadian. Antara contoh kata nama masa seperti esok\u00a0termasuklah semalam, kelmarin, tadi, nanti, dahulu, sekarang, lusa, tulat, kelak\u00a0dan sebagainya. Selain itu, kata hubung gabungan kemudian\u00a0juga dapat menjadi adverba masa.\nAdverba konteks juga meliputi sebilangan kata kerja. Sila lihat contoh yang berikut:\n4a. \u00a0Burung helang terbang meninggi.\n4b. \u00a0Mereka berjalan mengiring.\n4c. \u00a0Laut tenang membiru.\n4d. \u00a0Mukanya putih berseri.\n4e. \u00a0Dia di rumah bersendirian.\n4f. \u00a0\u00a0Dia ke hutan menyendiri.\n\u00a0\nDalam ayat 4a, kata kerja meninggi\u00a0berfungsi sebagai adverba yang menghuraikan kata kerja terbang. Dalam ayat 4b, kata kerja mengiring\u00a0berfungsi sebagai adverba yang menghuraikan kata kerja berjalan. Dalam ayat 4c, kata kerja membiru\u00a0berfungsi sebagai adverba yang menghuraikan kata adjektif tenang. \u00a0Dalam ayat 4d, kata kerja berseri\u00a0berfungsi sebagai adverba yang menghuraikan kata adjektif putih. Dalam ayat 4e, kata kerja bersendirian\u00a0berfungsi sebagai adverba yang menghuraikan frasa sendi nama di rumah. Dalam ayat 4f, kata kerja menyendiri\u00a0berfungsi sebagai adverba yang menghuraikan frasa sendi nama ke hutan.\nAdverba konteks juga meliputi sebilangan kata adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:\n5a. \u00a0Sungai mengair lesu.\n5b. \u00a0Angin bertiup kencang.\n5c. \u00a0Dia sakit kuat.\n5d. \u00a0Dia ke hospital terus.\n5e. \u00a0Dia segera\u00a0ke pejabat.\n\u00a0\nDalam ayat 5a, kata lesu\u00a0ialah kata adjektif yang berfungsi sebagai adverba untuk menghuraikan kata kerja mengalir. Dalam ayat 5b, kata kencang\u00a0ialah kata adjektif yang berfungsi sebagai adverba untuk menghuraikan kata kerja bertiup. Dalam ayat 5c, kata kuat\u00a0ialah kata adjektif yang berfungsi sebagai adverba untuk menghuraikan kata adjektif sakit. Dalam ayat 5d, kata terus\u00a0ialah kata adjektif yang berfungsi sebagai adverba untuk menghuraikan frasa sendi nama ke hospital. \u00a0Dalam ayat 5e, kata segera\u00a0ialah kata adjektif yang berfungsi sebagai adverba untuk menghuraikan frasa sendi nama ke pejabat.\nAda sejumlah kata adjektif ganda yang dapat menjadi adverba. Sila lihat contoh yang berikut:\n6a. \u00a0Dia cepat-cepat\u00a0balik.\n6d. \u00a0Dia duduk diam-diam.\n6c. \u00a0Dai makan sedikit-sedikit.\n6d. \u00a0Dia betul-betul\u00a0yakin.\n6e. \u00a0Dia menari gila-gilaan.\n6f. \u00a0\u00a0Dia berbelanja besar-besaran.\n6g. \u00a0Sepandai-pandai\u00a0dia berfikir, ada kalanya dia tersilap juga.\n\u00a0\nDalam ayat 6a, kata adjektif ganda cepat-cepat\u00a0merupakan adverba yang menghuraikan kata kerja balik. \u00a0Dalam ayat 6b, kata adjektif ganda diam-diam\u00a0merupakan adverba yang menghuraikan kata kerja duduk. Dalam ayat 6c, kata adjektif ganda sedikit-sedikit\u00a0merupakan adverba yang menghuraikan kata kerja makan.\u00a0Dalam konteks ayat lain, kata sedikit\u00a0merupakan kata bilangan tak tentu. \u00a0Dalam ayat 6d, kata adjektif ganda betul-betul\u00a0merupakan adverba yang menghuraikan kata adjektif yakin. Dalam hal ini, kata betul-betul\u00a0juga merupakan kata penegas. Dalam ayat 6e, kata adjektif ganda gila-gilaan\u00a0merupakan adverba yang menghuraikan kata kerja menari. Dalam ayat 6f, kata adjektif ganda besar-besaran\u00a0merupakan adverba yang menghuraikan kata kerja berbelanja. Dalam ayat 6g, kata adjektif ganda sepandai-pandai\u00a0merupakan adverba yang menghuraikan kata kerja berfikir.\nAda sejumlah kata kerja ganda yang dapat menjadi adverba. Sila lihat contoh yang berikut:\n7a. \u00a0Dia berbelanja habis-habisan.\n7b. \u00a0Dia belajar bersungguh-sungguh.\n7c. \u00a0Dia berjalan terkedek-kedek.\n7d. \u00a0Dia bersedih berhari-hari.\n7e. \u00a0Dia berjalan mundar-mandir.\n7f. \u00a0Mereka berlari lintang-pukang.\n\u00a0\nDalam ayat 7a, kata kerja ganda separa habis-habisan\u00a0merupakan adverba yang menghuraikan kata kerja berbelanja. Dalam ayat 7b, kata kerja ganda separa bersungguh-sungguh\u00a0merupakan adverba yang menghuraikan kata kerja belajar. Dalam ayat 7c, kata kerja ganda separa terkedek-kedek\u00a0merupakan adverba yang menghuraikan kata kerja berjalan. Dalam ayat 7d, kata kerja ganda separa berhari-hari\u00a0merupakan adverba yang menghuraikan kata kerja bersedih. Dalam ayat 7e, kata kerja ganda berentak mundar-mandir\u00a0merupakan adverba yang menghuraikan kata kerja berjalan. Dalam ayat 7d, kata kerja ganda berentak lintang-pukang\u00a0merupakan adverba yang menghuraikan kata kerja berlari." "Pencarian Munsyi Jawi melalui Kursus Pembinaan Munsyi Dewan (Jawi)\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Akademi DBP telah mengadakan Kursus Pembinaan Munsyi Dewan (Jawi) selama dua hari yang bermula pada hari ini, iaitu 6 Jun hingga 7 Jun di Aras 6, Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP, yang melibatkan peserta luar daripada pelbagai agensi dari seluruh Malaysia.\nSebanyak 101 orang telah mendaftarkan diri sebagai peserta Kursus Pembinaan Munsyi Dewan (Jawi). Kursus yang dijalankan secara bersemuka ini bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 4.30 petang itu bertujuan untuk mendapatkan calon terbaik yang akan dibimbing dan dinilai dalam Bengkel Munsyi Dewan (Jawi) akan datang.\nAntara objektif lain kursus ini diadakan termasuklah untuk memberikan peluang kepada penggiat Jawi atau pencinta Jawi untuk mendapatkan pertauliahan sebagai Munsyi Dewan (Jawi).\nKursus ini menampilkan Prof. Madya Dr. Adi Yasran Abd. Aziz, pensyarah dari Universiti Putra Malaysia yang mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam bidang Jawi dan juga merupakan penyelidik dalam bidang bahasa Melayu.\nPada sesi awal kursus, para peserta diperkenalkan dengan Dasar Bahasa Kebangsaan yang merangkumi tiga aspek perundangan yang utama, iaitu Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang menyatakan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa rasmi dan Akta Pendidikan 1996 yang mewajibkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar.\nSelain itu, beliau turut menyatakan bahawa bahasa kebangsaan hanya mengiktiraf dua sistem tulisan sahaja untuk urusan rasmi, iaitu tulisan Rumi dan Jawi.\nMenurut Prof. Madya Dr. Adi Yasran, sejarah perkembangan tulisan Jawi boleh dibahagikan kepada dua zaman, iaitu Zaman Jawi Klasik (1303-1928) dan Zaman Jawi Moden pada tahun 1928 hingga kini yang diperkenalkan oleh Za\u02bbba.\nTambah beliau, terdapat tiga bukti terawal tulisan Jawi klasik yang terdiri daripada Batu Bersurat Piagam Terengganu (BBPT) pada tahun 1303 Masihi, Surat Sultan Abu Hayat pada tahun 1521 Masihi dan naskhah terjemahan kitab \u2018Aqa\u2019id al-Nasafi.\nBeliau turut menerangkan tentang peranan tulisan Jawi yang bukan sahaja sebagai warisan negara tetapi juga sebagai identiti Malaysia dan negara jiran. Menurutnya lagi, peranan tulisan Jawi adalah untuk memperkasakan jati diri rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu yang beragama Islam.\nBeliau juga menegaskan bahawa tulisan Jawi telah mendapat pengiktirafan antarabangsa, iaitu UNESCO yang diberikan berdasarkan kriteria pemilihan sesuatu yang berkepentingan dunia dan nilai sejagat yang luar biasa.\nPada hari kedua kursus pula, ujian kelayakan akan diadakan untuk menilai para peserta sama ada layak atau tidak untuk menghadiri bengkel seterusnya yang akan diadakan pada bulan Julai kelak.\nMelalui kursus yang diadakan itu, DBP akan dapat melantik Munsyi Dewan Jawi yang berkemahiran, khususnya dalam bidang Jawi agar dapat membantu fungsi DBP dalam memartabatkan bahasa kebangsaan dan sastera." "Pejabat SUK Terengganu Bersedia Anjurkan Pertandingan Pidato\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram" "Kata Sendi Nama \u201cdengan\u201c atau \u201cakan\u201c?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nAdakah ayat di bawah ini gramatis?\nIbu bapa penyajak berasa gembira dengan ketibaan anggota keluarganya.\nDaripada:\nHamidah MJ,\nBandar Sunway, Kuala Lumpur." "Antara beR-, meN-\u00a0dan teR-\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nImbuhan beR-, meN-\u00a0dan teR-\u00a0merupakan awalan yang sering kita gunakan dalam penulisan dan ujaran. Tiga imbuhan tersebut mempunyai fungsi dan maksud masing-masing. Oleh itu, perbandingan antara imbuhan itu dapat memberikan gambaran yang lebih jelas tentangnya.\nImbuhan beR-\u00a0menghasilkan kata kerja tak transitif dengan kata dasar, seperti yang berikut:\n1a. \u00a0Dia bercermin.\n1b. \u00a0Dia berkereta.\n1c. \u00a0Dia berkedudukan tinggi.\n1d. \u00a0Dia bermain bola.\n1e. \u00a0Dia belajar sampai jauh malam.\n1f. \u00a0\u00a0Dia belajar kerana mahu lulus.\n1g. \u00a0Dia berada di Ipoh.\n1h. \u00a0Dia berpendapat bahawa dia betul.\n1i. \u00a0\u00a0Bajunya bersusun rapi.\nDalam ayat 1a, bercermin\u00a0ialah kata kerja refleksif, iaitu berkaitan dengan tindakan yang kena pada diri sendiri. Dalam ayat 1b, berkereta\u00a0dapat berdiri sendiri tanpa diikuti sebarang kata. Maksudnya ialah mempunyai atau memandu kereta. Dalam ayat 1c, kata berkedudukan\u00a0diikuti penerang tinggi\u00a0bagi kata dasar kedudukan. Dalam ayat 1d, bermain\u00a0ialah kata kerja yang dapat berdiri sendiri, dan boleh diikuti kata keterangan seperti bola. Dalam ayat 1e, kata kerja belajar\u00a0diikuti frasa keterangan sampai jauh malam. Dalam ayat 1f, kata kerja belajar\u00a0diikuti klausa keterangan kerana (dia) mahu lulus. Dalam ayat 1g, kata kerja berada\u00a0yang bermaksud \u201chadir\u201d\u00a0mesti diikuti pelengkap seperti di Ipoh. Dalam ayat 1h, kata kerja berpendapat\u00a0diikuti klausa komplemen bahawa dia betul sebagai pelengkap. Dalam ayat 1i, kata bersusun\u00a0mempunyai ragam pasif dan bermaksud \u201csedia disusun\u201d.\n\u00a0\nOleh itu, fungsi beR-\u00a0boleh kita rumuskan seperti yang berikut:\niii. ada kata yang mesti diikuti pelengkap.\nvii. ada kata yang mempunyai ragam pasif.\n\u00a0\nImbuhan meN-\u00a0menghasilkan kata kerja aktif tak transitif atau transitif dengan kata dasarnya, seperti yang berikut:\n2a. \u00a0Dia melompat.\n2b. \u00a0Dia membaca buku.\n2c. \u00a0Dia memberi adiknya hadiah.\n2d. \u00a0Dia membaca buku pada masa lapang.\n2e. \u00a0Dia membaca buku apabila ada masa lapang.\n2f. \u00a0\u00a0Dia mengetahui bahawa kesilapan telah berlaku.\n\u00a0\nDalam ayat 1a, kata kerja melompat\u00a0ialah kata kerja tak transitif, iaitu boleh berdiri sendiri tanpa diikuti sebarang kata lain. Dalam ayat 2b, kata kerja membaca\u00a0ialah kata kerja transitif dengan satu objek, iaitu buku. Dalam ayat 2c, kata kerja transitif memberi\u00a0mempunyai dua objek, iaitu objek tepat adiknya\u00a0dan objek sipi hadiah. Dalam ayat 2d, frasa kerja membaca\u00a0buku\u00a0diikuti frasa keterangan pada\u00a0masa\u00a0lapang. Dalam ayat 2e, frasa kerja membaca\u00a0buku\u00a0diikuti klausa apabila\u00a0(dia) ada masa lapang. Dalam ayat 3f, kata kerja transitif mengetahui\u00a0diikuti klausa komplemen bahawa kesilapan telah berlaku\u00a0sebagai objeknya.\nOleh itu, fungsi awalan meN-\u00a0dapat kita rumuskan seperti yang berikut:\niii. boleh diikuti frasa atau klausa keterangan.\n\u00a0\nImbuhan teR-\u00a0menghasilkan kata kerja tak transitif, kata kerja transitif dan kata kerja pasif dengan kata dasarnya, seperti yang berikut:\n3a. \u00a0Dia terjatuh.\n3b. \u00a0Dia terlanggar kereta itu.\n3c. \u00a0Dia terlanggar oleh kereta itu.\n3d. \u00a0Biliknya tersusun rapi.\n3e. \u00a0Dia terberi adiknya makanan yang basi.\n3f. \u00a0\u00a0Dia terjatuh di kawasan paya itu.\n3g. \u00a0Dia terjatuh kerana lantai licin.\n3h. \u00a0Dia teringat bahawa tugasannya belum siap.\n\u00a0\nDalam ayat 3a, kata kerja terjatuh\u00a0ialah kata kerja tak transitif, iaitu dapat hadir tanpa diikuti oleh sebarang kata lain. Dalam ayat 3b, kata terlanggar\u00a0ialah kata kerja transitif yang harus diikuti objek seperti kereta\u00a0itu. Dalam ayat 3c, kata kerja terlanggar\u00a0ialah kata kerja pasif kerana harus diikuti benda yang melakukan pelanggaran seperti kereta\u00a0itu\u00a0dan kata sendi nama oleh. Dalam ayat 3d, kata kerja tersusun\u00a0mempunyai ragam pasif dan bermaksud \u201csedia disusun\u201d. Dalam ayat 3e, kata kerja terberi\u00a0diikuti dua objek, iaitu objek tepat adiknya\u00a0dan objek sipi makanan\u00a0yang\u00a0basi. Dalam ayat 3f, kata kerja terjatuh\u00a0diikuti frasa keterangan di\u00a0kawasan\u00a0paya\u00a0itu. Dalam ayat 3g, kata kerja terjatuh\u00a0diikuti klausa keterangan kerana\u00a0lantai\u00a0licin.\u00a0Dalam ayat 3h, kata kerja teringat\u00a0diikuti klausa komplemen bahawa tugasannya belum siap\u00a0sebagai objeknya.\nOleh itu, fungsi awalan teR-\u00a0dapat kita rumuskan seperti yang berikut:\niii. ada kata kerja transitifnya yang dapat diikuti satu atau dua objek.\n\u00a0\nPerbandingan antara awalan beR-, meN-\u00a0dan teR-\u00a0dapat kita gambarkan seperti yang berikut:" "Bebaskan Minda daripada Kepompong Bahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam Syarahan Negarawan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2018, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu Ahli Parlimen Port Dickson telah menegur kebiasaan ahli-ahli parlimen yang tidak menjaga mutu bahasa dengan menggunakan bahasa pasar ketika berbahas di sidang-sidang Dewan Rakyat.\nKetika sidang media pertama beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, beliau sekali lagi bertegas akan meneruskan pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.\nTeguran beliau kelihatannya masih relevan tatkala di tengah-tengah kehangatan kempen pilihan raya yang baru berlalu apabila tular gegantung-gegantung kempen yang memaparkan kesalahan ejaaan serta poster-poster promosi stesen televisyen terkemuka yang membicarakan soal politik negara yang menggunakan ejaan salah \u201cpilihanraya\u201d berbanding dengan ejaan yang betul, iaitu\u201cpilihan raya\u201d.\nMutu penggunaan bahasa Melayu turut dapat dipersoalkan apabila dokumen-dokumen bertulis kerajaan masih ada lagi yang menggunakan ciri-ciri bahasa pasar, iaitu percampuran antara istilah bahasa asing dengan bahasa Melayu dalam satu ayat yang sama.\nApabila diteliti, penulis-penulis dokumen memberikan alasan bahawa istilah-istilah umum dan teknikal yang hendak digunakan dalam teks seperti standard operating procedure, roll\u00a0out\u00a0dan sebagainya tidak mempunyai padanan dalam bahasa Melayu. Dakwaan ini semestinya meleset daripada kebenaran.\nUmum wajar mengetahui bahawa bahasa Melayu telah mengalami dan akan terus mengalami perkembangan bahasa selari dengan tuntutan semasa. Sebagai contoh, penggunaan istilah topeng muka sebelum Perintah Kawalan Pergerakan yang merujuk apa-apa pelindung yang dikenakan pada muka.\nNamun selepas itu, istilah pelitup separuh muka pula digunakan dengan meluas yang merujuk khusus kepada penutup yang dipakai untuk melindungi muka bagi tujuan kesihatan.\nBegitu juga perbezaan yang nuansa seperti monolog yang merujuk dialog secara sendirian dengan menggunakan suara dan senandika, iaitu dialog secara sendirian tanpa menggunakan suara.\nPerkembangan bahasa Melayu khususnya pertambahan kosa kata dan istilah ini dapat dilihat jelas dari aspek perkamusan bahasa Melayu. Pada tahun 2005, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menerbitkan Kamus Dewan Edisi Keempat yang memaparkan sekitar 82 900 kata masukan.\nNamun begitu, dalam Kamus Dewan Perdana yang telah dilancarkan baru-baru ini mengandungi lebih daripada 120 000 entri dan subentri yang meliputi pelbagai disiplin ilmu. \nMenurut DBP, dalam proses penyusunan kamus tersebut yang telah bermula sejak awal tahun 1990 lagi, lebih daripada 45 orang pakar bidang yang berlainan telah terlibat bagi menyemak dan mengesahkan istilah-istilah yang disusun dalam kamus tersebut.\nHal ini menunjukkan bahawa keandalan istilah dalam bahasa Melayu ini tidak boleh dipertikai dan rakyat Malaysia boleh menggunakan istilah-istilah tersebut dalam konteks rasmi atau tidak rasmi tanpa ragu-ragu. Hal ini juga bermaksud, kita boleh menghasilkan satu dokumen yang lengkap dengan sifar bahasa asing atau bahasa pasar.\nSebahagian besar istilah-istilah bahasa Inggeris khususnya sudahpun terakam dalam kosa kata bahasa Melayu. Namun begitu, masih ada segelintir rakyat Malaysia dan penjawat awam khususnya masih terperangkap di bawah \u201ckepompong bahasa\u201c dan lebih cenderung untuk menggunakan istilah asing dalam teks bahasa Melayu.\nJusteru, usaha dan keinginan wajar digerakkan untuk keluar daripada kepompong bahasa itu yang menahan masyarakat untuk menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya sama ada dalam wacana lisan mahupun wacana tulisan seharian.\nSeperti yang dinukilkan oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim semasa membentangkan kertas kerjanya dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu pada 22 Mei 2022 , isu kesetiaan bahasa dan kebanggaan bahasa merupakan cabaran besar dalam pelaksanaan dasar bahasa di Malaysia. Sangkaan bahawa tiada istilah sepadan dalam bahasa asing ke dalam bahasa Melayu perlu disingkirkan dari minda dan hati masyarakat dalam usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan." "Belasungkawa: Haji Hamdan Abdul Rahman Pakar Rujuk Tulisan Jawi dan Pakar Penyelidik Bahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Pakar rujuk tulisan Jawi dan pakar penyelidik bahasa, Tuan Haji Hamdan Abdul Rahman telah kembali ke Rahmatullah di Hospital Shah Alam pada pagi ini.\nBerita pemergian Allahyarham turut dikongsi oleh mantan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu Yang Berhormat Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menerusi laman sosial Facebooknya.\nTuan Haji Hamdan Abdul Rahman pernah dilantik sebagai karyawan tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia selain aktif menulis dan menghasilkan karya penyelidikan berkaitan dengan tulisan Jawi dan bahasa.\nBeliau merupakan seorang daripada pakar rujuk yang dilantik oleh DBP dalam menghasilkan siri rujukan seperti Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan, Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi dan Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu Dewan. Antara karya beliau yang lain termasuklah Panduan Menulis dan Mengeja Jawi, Siri Cinta Jawi: Abu Nawas Mati.\nSelain itu, beliau juga sering diundang sebagai pakar rujuk, pembimbing siri bengkel tulisan Jawi dan pembentang kertas kerja dalam pelbagai seminar oleh agensi seperti DBP, Perpustakaan Negara Malaysia, Radio IKIM dan lain-lain.\nSumbangan dan khidmat bakti beliau khususnya dalam bidang tulisan Jawi dan penyelidikan bahasa di negara kita amatlah besar. Semoga Allah SWT memberikan ganjaran pahala dan nikmat syurga atas segala komitmen, jasa dan sumbangan Allayarham Tuan Haji Hamdan Abdul Rahman semasa hayatnya." "Cabaran Uji Minda melalui Pertandingan Pantas Jawi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBintulu \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) telah menganjurkan Pertandingan Pantas Jawi Sekolah Rendah di Perpustakaan Awam, BDA pada 16 Jun 2023. Pertandingan ini diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun BDA yang ke-45, DBP ke-67 dan 60 Tahun Sarawak Merdeka.\nSebanyak 20 orang murid sekolah rendah dari Tahun 4 hingga Tahun 6 dari daerah Bintulu, Tatau/Sebauh dan Belaga telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.\nPertandingan Pantas Jawi ini juga untuk menguji tahap penguasaan para peserta terhadap ejaan Jawi. Perkara ini jelas ditunjukkan apabila mereka dikehendaki mengeja perkataan berdasarkan huruf Jawi dalam masa 30 saat sahaja.\nSelain menyemarakkan minat dan menggalakkan penggunaan tulisan Jawi dalam kalangan pelajar sekolah, pertandingan ini juga bertujuan untuk memupuk jati diri dan mengekalkan tradisi bangsa kepada anak muda khususnya di Bahagian Bintulu.\nTambahan pula, perkataan yang diberikan kepada para peserta merangkumi kata asal bahasa Melayu dan kata serapan daripada bahasa asing. Pertandingan ini diadili oleh dua orang panel hakim, iaitu Puan Askhairunisa Alwi dan Encik Mohamad Faizal Jamil.\nPertandingan Pantas Jawi merupakan satu kegiatan daripada 31 kegiatan yang dilaksanakan dalam Karnival Intelek 2023 Peringkat Sarawak yang dilaksanakan bermula dari 12 Jun hingga 17 Jun 2023 yang berfungsi untuk menyebarkan peranan DBP dalam memellihara tulisan Jawi sebagai citra kebangsaan.\nJohan Pertandingan Pantas Jawi dimenangi oleh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Abun Matu, Belaga, manakala naib johan pula dari SK Bintulu. Murid SK Kampung Baru pula mendapat tempat ketiga, manakala penerima hadiah sagu hati masing-masing merupakan murid dari SK Bintulu dan SK Orang Kaya Mohammad.\nPemenang pertandingan ini membawa pulang hadiah wang tunai, buku terbitan DBP, plak sumbangan BDA dan watikah pengiktirafan yang disampaikan oleh Pengurus Besar BDA, iaitu YBhg. Datu Muhamad Yakub Kari.\n\u00a0\nJurufoto: Norfazrie Isquandy Nurol" "Tahniah, MRSM Gemencheh!\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNEGERI SEMBILAN \u2013 MRSM Gemencheh muncul sebagai juara apabila memenangi pertandingan Forum Remaja Menengah Atas dan Kuiz Bahasa dan Sastera Menengah Atas menerusi Program Bicara Bahasa MRSM Zon Selatan 2021. Di samping itu, MRSM Gemencheh turut memenangi dua kategori bagi pertandingan Forum Remaja Menengah Atas, iaitu menerusi Kategori Panel Forum Terbaik, oleh Nur Imaniyyah binti Ahmad Fahim dan Kategori Pengerusi Forum Terbaik oleh Taufiq Lu bin Asmadi.\n\nBeberapa pertandingan lain turut diadakan seperti Deklamasi Sajak Terbuka, Melagukan Syair Terbuka (Menengah Rendah), Pidato Sekolah Menengah Rendah dan \u00a0Atas, Story Telling (Lower and\u00a0 Upper Secondary), Public Speaking (Lower and\u00a0 Upper Secondary) dan Poetry Slam (Lower and Upper Secondary). Tahniah diucapkan kepada para pemenang progam Bicara Bahasa MRSM Zon Selatan 2021.\n\u00a0\nSelama empat hari Program Bicara Bahasa MRSM Zon Selatan 2021 berlangsung, iaitu pada 9 Julai hingga 12 Julai 2021 dan disertai oleh beberapa buah sekolah MRSM. Program Bicara Bahasa MRSM Zon Selatan 2021 MRSM ini dilaksanakan oleh Bahagian Pendidikan Menengah MARA dengan kerjasama Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nPenganjuran Pertandingan Bicara Bahasa ini merupakan antara aktiviti kebahasaan yang dilaksanakan oleh DBP dalam usaha menanam sikap megah dalam kalangan generasi muda terhadap bahasa Melayu. Program seperti ini diharapkan dapat membantu DBP dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan khususnya dalam kalangan generasi muda, selain melahirkan generasi muda yang berpengetahuan tinggi dan berketerampilan dalam bidang kebahasaan dan kesusasteraan.\nBIL.\nKATEGORI\nJOHAN\n(Ahmad Iskandar bin Muhammad Andy Fairoz)\n(Muhammad Farihin bin Mohd Lotfi)\n(Terbuka Puteri Balqis binti Aminuddin)\n(Amirul Qayyum bin Ahmad Muriz)\n(Amirul Qayyum bin Ahmad Muriz)\n(Muhammad Hafizan bin Shahril)\n(Muhammad Raihan Chua)\n(Aleya Ameera binti Mohd Azham)\n(Sophia Alessandra Lynn Walters)\n(Errzie Reachel Nazarie)\n(Muhammad Faris Aqil bin Mohd Azmidari)" "Bahasa, Seni dan Budaya Teras Program KPM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNibong Tebal \u2013 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus mendukung acara yang melibatkan seni, bahasa dan budaya dalam menyantuni masyarakat.\nMenteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek dalam Semadah Bicara pada Malam Bahasa Jiwa Bangsa bersempena dengan Festival Bahasa dan Sastera (FBS) Peringkat Negeri Pulau Pinang pada 17 Jun 2023 di Dewan Serbaguna Sungai Jawi, Nibong Tebal mengatakan,\nProgram ini merupakan wahana bagi masyarakat bersama-sama menzahirkan sokongan dan iltizam dalam usaha mengangkat martabat bahasa, sastera, seni, dan budaya di dalam negara secara keseluruhannya.\n\u00a0\nMajlis juga diserikan lagi dengan persembahan deklamasi puisi oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato\u2019 Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak, YB Fadhlina Sidek dan Sasterawan Negara Datuk Seri A. Samad Said.\nSelain itu, sebanyak 11 kegiatan telah diadakan untuk menyemarakkan FBS Peringkat Negeri Pulau Pinang seperti pertandingan mewarna, program Seronoknya Membaca, program Didik Dakwah: Sirah Anbiya, pertandingan deklamasi puisi, Pertandingan Lagu Boria, program Ekspresi Muzik Jalanan, dan Eksplorasi Bahasa. Di samping itu, pameran, kaunter perkhidmatan dan jualan buku turut diadakan.\nFBS Peringkat Negeri Pulau Pinang yang dianjurkan oleh DBP dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dihadiri oleh hampir 1000 pengunjung adalah bertujuan untuk menyemarakkan kegiatan kesusasteraan dan kebudayaan di samping menarik minat anak muda untuk hadir dan menyokong program kebahasaan." "TikTok Senjata Bahasa yang Berkesan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMemang tidak dapat disangkal bahawa bahasa menunjukkan identiti sesuatu bangsa, malah bahasa juga mampu menunjukkan kekayaan budaya sesuatu masyarakat. Walakin begitu, masyarakat kini terutamanya golongan remaja masih ramai yang tidak menguasai bahasa Melayu.\nLebih menyedihkan lagi apabila mereka menganggap bahasa Inggeris sebagai bahasa yang lebih penting dan maju daripada bahasa Melayu. Natijahnya, bahasa sendiri tidak dikuasai. Oleh itu, perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Sebagai rakyat yang cinta akan tanah air, seseorang itu perlu mengorak langkah ampuh untuk menjamin penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan remaja. Sebagai satu pendekatan yang berkesan, media sosial boleh digunakan untuk mengajar dan belajar bahasa.\nMedia sosial juga dapat menjelmakan masyarakat biasa menjadi pempengaruh yang terkenal. Setiap orang yang mempunyai akaun TikTok bebas mengeluarkan sebarang kenyataan atau menyatakan pendapat. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa setiap individu yang mempunyai akaun TikTok merupakan \u201cwartawan tidak bergaji\u201c kerana saban hari masyarakat sering disajikan dengan video yang dimuat naik berkaitan dengan isu-isu yang hangat atau tular pada satu-satu masa. Hal ini secara tidak langsung membuka ruang kepada para warganet untuk mengetahui isu yang berlaku di dalam mahupun di luar negara dengan hanya menggunakan TikTok.\nJika ditinjau dari sudut yang berbeza, tokoh-tokoh politik juga sudah tidak lagi menggunakan pendekatan yang lama untuk berkempen ketika pilihan raya. Ahli politik juga menggunakan medium TikTok sebagai wahana yang penting dalam kempen-kempen politik mereka.\nOleh yang demikian, sudah jitu lagi tepat bahawa TikTok merupakan medium yang boleh dijadikan wahana untuk semua bidang terutamanya bidang pendidikan. Persoalan yang terus menerawang dan menerjah di dalam kotak fikiran sekarang ialah adakah TikTok mampu menjadi platform untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dengan lebih efektif?\nTikTok sudah menjadi senjata utama masyarakat dalam mengeluarkan pendapat mereka. Terdapat juga segelintir ahli masyarakat yang menggunakan platform tersebut untuk menonjolkan bakat mereka. Jika dilihat dengan teliti, kini banyak guru yang menggunakan platform tersebut untuk aktiviti pengajaran dengan memuat naik video pendek supaya masyarakat terutamanya golongan pelajar mendapat ilmu melalui media sosial ini.\nNamun demikian, ada juga segelintir guru yang memuat naik video di TikTok hanya untuk menjadi popular dalam kalangan warganet. Hal ini sebenarnya merupakan satu aktiviti yang tidak sihat kerana pengajaran itu seharusnya jujur dan ikhlas dari hati dan bukannya untuk menuju kemasyhuran semata-mata.\nPlatform ini juga sebenarnya merupakan senjata khas untuk para pencinta bahasa. Bak kata pepatah, \u201cMata pena lebih tajam dari mata pedang\u201c. Namun begitu, pepatah yang lebih sesuai kini ialah \u201cKanta kamera lebih tajam dari mata pedang\u201c. Hal ini demikian kerana seseorang itu boleh terselamat daripada pedang yang hanya boleh mencederakan diri tetapi apabila seseorang itu tular dalam sesuatu video yang negatif, maka seseorang itu terpaksa menanggung malu sepanjang hidupnya.\nPendek kata, media sosial lebih berpengaruh dan mampu melakukan sebarang perubahan dalam kehidupan seseorang. Oleh yang demikian, pengajaran bahasa Melayu juga boleh dilaksanakan melalui media sosial terutamanya menerusi TikTok.\nTikTok juga mampu menarik minat remaja dan golongan lain untuk mencintai bahasa. Perkara tersebut boleh berlaku jika guru, pencinta bahasa, pengkaji bahasa atau Munsyi Dewan memainkan peranan mereka untuk memajukan dan memartabatkan bahasa.\nJika banyak orang memuat naik video berkaitan dengan bahasa Melayu, masyarakat akan mula belajar sesuatu melalui video tersebut. Hal ini kerana masyarakat tidak ada masa untuk menelaah buku-buku bahasa disebabkan kesibukan dalam mengejar sesuatu untuk kelangsungan hidup mereka.\nMasyarakat kini banyak meluangkan masa dengan media sosial. Oleh hal yang demikian, sebagai pencinta bahasa, seseorang itu perlu merebut peluang keemasan ini untuk menjaga dan memartabatkan bahasa kebangsaan negara ini. Melaluinya juga generasi akan datang\u00a0 pastinya tidak akan melupakan bahasa Melayu yang menjadi lambang kebanggaan rakyat Malaysia sejak turun-temurun.\nSudah terang lagi bersuluh bahawa penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan remaja kini semakin tidak menyerlah. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa masalah ini merupakan satu isu yang bukan sahaja meresahkan ibu bapa malah turut mencemaskan para pemimpin negara.\nOleh yang demikian, TikTok boleh dijadikan sebagai platform baharu yang sesuai untuk mengajar dan belajar bahasa Melayu mengikut peredaran zaman. Perlu diingat bahawa jika takut untuk berubah mengikut peredaran zaman, seseorang itu perlu bersedia untuk ditelan zaman. Perubahan adalah perkara yang satu-satunya kekal." "Penyebaran Ilmu melalui Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBintulu \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dan Bahagian Buku Umum, DBP Kuala Lumpur dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia, Kampus Bintulu (UPMKB) telah mengadakan Bengkel Perolehan Manuskrip pada 15 Jun hingga 16 Jun 2023 di UPMKB.\nDr. Zamri Rosli, Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan yang mewakili Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, iaitu Pengarah Kampus UPMKB telah menyampaikan ucapan perasmian bengkel tersebut, manakala ucapan penghargaan disampaikan oleh Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, iaitu Pengarah DBP Cawangan Sarawak. Para peserta bengkel pula terdiri daripada pensyarah UPMKB daripada pelbagai bidang.\nLazimnya, para pensyarah menulis manuskrip untuk penerbitan saintifik dan menjadi rujukan dalam kalangan ilmuwan bidang tertentu. Penulisan yang dihasilkan itu tidak sampai kepada khalayak umum kerana agak teknikal dan sukar bagi pembaca yang bukan dalam bidang tersebut. Sehubungan dengan itu, penganjuran Bengkel Perolehan Manuskrip Buku Umum ini adalah sebagai satu daripada cara untuk menggiatkan usaha menerbitkan buku-buku umum dan ilmiah dalam pelbagai bidang.\nBengkel ini memfokuskan bimbingan dalam penulisan buku umum bagi menggalakkan penulisan akademik dalam bahasa kebangsaan dan mempromosikan peranan, fungsi dan kepentingan bahasa, sastera dan penerbitan sebagai satu daripada elemen teras pembinaan tamadun dan negara bangsa Malaysia.\nBengkel ini dibimbing oleh Puan Norhanifah Mohamed dan Puan Zalimah Yahya dari Bahagian Buku Umum, manakala Puan Hajijah Mainol dan Puan Lily Joo pula dari DBP Cawangan Sarawak.\nHasil bengkel yang berlangsung selama dua hari tersebut, sebanyak sembilan Kertas Cadangan Judul (KCJ) yang merangkumi bidang sains pertanian, kimia, fizik, perhutanan dan sains sosial telah dibentangkan oleh para peserta." "Kata Nama Majmuk\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata majmuk ialah dua atau lebih kata yang mendukung makna khusus dan berfungsi sebagai satu unit dari segi tatabahasa. Kata ini meliputi kata nama majmuk, kata kerja majmuk dan kata adjektif majmuk.\nKata nama majmuk mungkin dianggotai oleh akar kata, kata tunggal kata terbitan atau kata ganda. Sila lihat contoh yang berikut:\ni. Binaan dengan akar kata\npasar tani, anak guam, suara tangis\n\u00a0\nKata tani, guam\u00a0dan tangis\u00a0merupakan akar kata (morfem terikat) yang tidak dapat wujud secara bebas dalam ayat tanpa ditambah imbuhan atau dijadikan sebagai kata majmuk.\nii. Binaan dengan kata tunggal\nroda tenaga, kertas kerja, jenama produk, markah purata, masalah asbut\n\u00a0\nKata tunggal termasuk akronim, iaitu kata yang terbina daripada gabungan sejumlah kata atau bahagiannya, ada vokal pembunyi dan disebut sebagai satu kata. Contoh kata nama majmuk dengan akronim ialah jenama\u00a0(jenis + nama) barangan, markah\u00a0purata\u00a0(pukul + rata) dan masalah\u00a0asbut\u00a0(asap + kabut)\n\u00a0\niii. \u00a0Binaan dengan kata terbitan\na. Satu kata berimbuhan\n(1) \u00a0Kata pertama berimbuhan\nsuruhanjaya, jawatankuasa, pesuruhjaya, penemu duga, pertumbuhan ekonomi\n(2) \u00a0Kata kedua berimbuhan\nmata pelajaran, hukum alamiah, graf terarah, medan sinaran, daya tarikan, kuasa hidroelektrik\n\u00a0\nb. Kedua-dua kata berimbuhan\nPenolong Penerbit, barisan pertahanan, ketua kumpulan, ketua pustakawan\n\u00a0\nc. Seluruh kata berimbuhan\nKesetiausahaan, persuratkhabaran, pertanggungjawaban\n\u00a0\niv. Binaan dengan kata ganda\nkedaulatan undang-undang, rang undang-undang, kitaran hidup rama-rama, hidangan kuih-muih, hasil kayu-kayan\n\u00a0\nKata nama majmuk boleh terbina daripada gabungan dua atau lebih kata nama. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\ni. dua kata nama\nair mata, hasil kajian, pengaruh media, industri hiliran, tandatangan\nii. Melebihi dua kata nama\nTimbalan Ketua Menteri, kesan hakisan sungai, rombakan Jemaah Menteri\n\u00a0\nHubungan dan maksud kata yang membina kata majmuk mungkin bersifat inti- penerang atau mempunyai maksud yang tersendiri. Sila lihat contoh yang berikut:\ni Hubungan inti + penerang, a + b = a(b)\nKata majmuk jenis ini menampilkan hubungan inti + penerang. Kata inti ialah kata yang dapat berfungsi seperti seluruh kata majmuk dalam ayat. Dalam hal ini, susunan kata dalam kata majmuk mungkin mengikut hukum D-M (unsur yangDiterangkan mendahului unsur yang menerangkannya), atau sebaliknya. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\na. mengikut Hukum D-M\nair hujan, tayangan perdana, sijil kelulusan, Menteri Muda, tandatangan\n\u00a0\nb. Tidak mengikut Hukum D-M\nNaib pengerusi, Timbalan presiden, Perdana Menteri, ibu pejabat\n\u00a0\nii. mempunyai maksud yang tersendiri, a+ b = c\nsetiausaha, tanggungjawab, urus setia\n\u00a0\nAda kata nama majmuk yang dianggotai oleh kata adjektif, tetapi tidak bersifat frasa. Contohnya ialah kata majmuk rumah sakit, kereta kebal\u00a0dan guru besar. Hal ini dikatakan demikian kerana kata majmuk tersebut mempunyai maksud khusus dan tidak boleh diselangi oleh kata hubung relatif yang. Jika diselitkan dengan kata yang, frasa yang terhasil tidak lagi bermakna atau maknanya berubah. \u00a0Bagi rumah sakit\u00a0yang bermakna hospital, kita tidak boleh menyamakannya dengan *rumah yang sakit. Kereta kebal\u00a0(tank) berbeza daripada kereta yang kebal\u00a0(kereta yang buatannya kuat), dan guru besar\u00a0tidak boleh disamakan dengan guru yang besar\u00a0(guru yang besar saiznya). Hal ini berbeza daripada frasa kereta baharu\u00a0yang sama erti dengan frasa kereta yang baharu.\nAda kata nama majmuk yang dianggotai oleh kata kerja, sama ada satu kata atau seluruhnya. Contohnya ialah terima kasih, temu ramah, reka bentuk, daya serap, ulang kaji dan\u00a0cari gali. Hal ini dikatakan demikian kerana kata tersebut digunakan seperti kata nama dalam ayat. Sila lihat contoh ayat yang berikut:\n1a. \u00a0Dia mengucapkan terima kasih.\n1b. \u00a0Temu duga\u00a0sedang diadakan.\n\u00a0\n2a. \u00a0Ali sedang melakukan ulang kaji.\n2b. \u00a0Mereka melakukan cari gali\u00a0di kawasan itu.\n\u00a0\nDalam ayat 1a, kata nama majmuk terima kasih\u00a0menjadi kata nama objek bagi kata kerja transitif mengucapkan. Dalam ayat 1b, kata nama majmuk temu duga\u00a0menjadi subjek ayat dengan pola Frasa Nama + Frasa Kerja. Dalam ayat 2a dan 2b pula, kata nama majmuk ulang kaji\u00a0dan cari gali\u00a0yang terbina daripada kata kerja seluruhnya berfungsi sebagai kata nama objek yang mengikuti kata kerja transitif melakukan.\nAda kata nama majmuk yang berpangkalkan kata adjektif. Hal ini berlaku demikian kerana sesetengah kata adjektif dapat berfungsi seperti kata nama, Contohnya ialah kuning telur, dalam ketara, putih mutiara\u00a0dan biru laut. Sila lihat contoh ayat yang berikut:\n3a. \u00a0Dia suka makan kuning telur.\n3b. \u00a0Dalam ketara\u00a0kolam itu dua meter.\n3c. \u00a0Biru laut\u00a0ialah warna kesukaannya.\n\u00a0\nDalam ayat 3a, kata nama majmuk kuning\u00a0telur\u00a0menjadi objek kepada kata kerja transitif makan. Dalam ayat 3b, kata nama majmuk dalam ketara\u00a0menjadi inti frasa nama subjek ayat. Dalam ayat 3c, kata nama majmuk biru laut\u00a0menjadi subjek ayat.\nKata nama majmuk meliputi rangkai kata bebas, istilah khusus dan kata majmuk kiasan (simpulan bahasa). Contoh kata majmuk jenis rangkai kata bebas ialah atur cara, balai raya, majlis perbandaran\u00a0dan Timbalan Naib Canselor. Contoh kata majmuk jenis istilah khusus ialah kesatuan sekerja, telefon dail terus, cakera padat\u00a0(compact\u00a0disc) dan aplikasi mudah alih\u00a0(Mobile\u00a0App). Contoh kata majmuk kiasan ialah tangkai jering, lipas kudung, muka tembok dan bulan madu." "Subjek Ayat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nApakah subjek dan predikat ayat yang di bawah ini?\nManusia seharusnya mengambil makanan dalam kuantiti yang sedikit. Adakah subjeknya manusia atau manusia seharusnya? Jika subjeknya manusia seharusnya, apakah alasannya?\nDaripada:\nSahimah binti Ahmad,\nSkudai, Johor." "Harapan Pemerkasaan DBP ke Arah Malaysia MADANI\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKonsep Malaysia MADANI digagaskan oleh YAB Dato\u2019 Seri Anwar Ibrahim apabila beliau menerajui kerajaan ini. Konsep ini bukanlah bersifat terpencil, sebaliknya sesuai menjadi acuan bagi semua pihak, termasuklah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Seiring dengan itu, bersempena dengan ulang tahun penubuhan DBP yang ke-67 pada tahun ini, DBP seharusnya mampu menjadi acuan berdasarkan kerangka Malaysia MADANI dari aspek pemerkasaan DBP itu sendiri.\nPerkara paling penting yang perlu menjadi keutamaan\u00a0DBP ialah rombakan struktur pentadbiran dan peranannya. Langkah ini membolehkan DBP lebih telus dan bebas daripada pengaruh politik.\u00a0Pelantikan jawatan perlu dilakukan secara telus bagi menjamin individu yang dilantik berkelayakan dan dihormati oleh semua pihak. Campur tangan politik akan menyebabkan kemerosotan sistem pentadbiran, seterusnya menyebabkan peranan DBP yang sebenar tidak dapat direalisasikan.\nHal ini selari dengan strategi utama MADANI yang keempat, iaitu mewujudkan pentadbiran beramanah menerusi islah dan pembaharuan bagi mewujudkan sistem yang adil dan saksama dengan menyuburkan prinsip musyawarah dan demokrasi bersandarkan sistem pengurusan yang baik, adil dan saksama.\nSeterusnya, masyarakat umum mengetahui bahawa proses penerbitan karya memerlukan kos yang agak tinggi.\u00a0Jika DBP memberikan bantuan dari segi kewangan, kemudahan penerbitan dan sokongan penerbitan produk akhir (modul, panduan, buku dan sebagainya), pastilah bahan sumber yang bermutu dapat diperbanyak. Hasil kajian pascasiswazah dan ahli akademik ini pula dapat diedarkan ke institusi yang terlibat, seterusnya memberikan manfaat kepada pemerkasaan pendidikan khususnya.\nOleh itu, pemerkasaan proses penerbitan buku/bahan sumber perlu dirancang dan penerbitan yang segera perlu dilakukan. Satu perkara yang amat penting yang memerlukan tindakan segera oleh pihak DBP ialah peluasan fungsi Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera. Hal ini dapat membuka ruang dan peluang kepada siswa, pendidik, ahli akademik, dan masyarakat untuk menghasilkan karya bahasa dan sastera yang bermutu dengan bantuan pakar.\nPeranan DBP amat penting dari aspek meningkatkan pengupayaan modal insan dengan memberikan pendedahan dari aspek teknik penulisan dan pengembangan idea. Hal ini menepati satu daripada teras Malaysia MADANI, iaitu daya cipta. Daya cipta mencakupi pembaharuan dan pengupayaan modal insan bagi menjelmakan daya cipta manusia.\nDi samping itu, DBP juga perlu mengembalikan peranan dan pelibatan yang lebih aktif dalam Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM), Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) dengan melibatkan siswa, guru dan pensyarah. Dengan memanfaatkan prasarana dan mekanisme sedia ada secara aktif, bahasa Melayu dapat diperkenalkan dengan lebih agresif. Dengan cara ini, matlamat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa global akan tercapai.\nSelain itu, DBP tidak boleh bergerak secara bersendirian, sebaliknya perlu mencari rakan sinergi, terutamanya dari luar negara. Dalam hal ini, DBP seharusnya bersinergi dengan badan korporat yang beroperasi di luar negara bagi mendapatkan sokongan dari segi kewangan, motivasi dan aktiviti untuk menarik minat pelajar asing mempelajari bahasa Melayu.\nKerjasama strategik ini perlu ditingkatkan supaya usaha memperkenalkan bahasa Melayu di mata dunia dapat dijadikan sebagai kenyataan. Pelibatan aktif ini bukan sahaja melibatkan kakitangan DBP, tetapi diperluas kepada golongan siswa, pendidik, dan ahli akademik yang berminat. Strategi ini amat menepati nilai teras kesejahteraan Malaysia MADANI melalui budaya ilmu dan pelbagai pandangan.\nYang berikutnya, DBP boleh berperanan sebagai hab (pusat) sosial. Tindakan ini dapat memperluas fungsi DBP sebagai hab sosial bagi pihak yang ingin mencari komuniti melalui program yang melibatkan sekolah, institut pengajian tinggi dan masyarakat setempat. Pusat rujukan transformasi komuniti ini perlu diwujudkan, khususnya bagi tujuan pembangunan, pendidikan, dan penyelidikan demi memartabatkan bahasa Melayu dan sastera Melayu.\nPihak tersebut boleh berkumpul untuk belajar, berkongsi maklumat, bertukar pandangan dan meluaskan jaringan pergaulan menerusi hab ini. Secara tidak langsung, hab sosial ini dapat menjadi pusat rujukan perkembangan bahasa, serta memperkasakan keterampilan bahasa dan modal insan melalui pelbagai pandangan.\nDalam usaha mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu ini, pihak tertentu perlu memberikan peruntukan yang besar untuk menjayakannya. DBP perlu membuka peluang penyelidikan kepada siswa, guru, dan pensyarah dengan menyediakan geran penyelidikan. Penyelidikan boleh dilakukan bersama-sama pegawai DBP mengikut kehendak dan keperluan semasa. Penyelidikan ini tidak tertakluk di dalam negara sahaja, malah turut merentasi serata dunia.\nBagi memastikan penggunaan bahasa yang tepat pada peringkat persekolahan pula, DBP perlu merancang dan mengurus keperluan latihan/kursus untuk guru/bakal guru bahasa Melayu dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia atau Kementerian Pengajian Tinggi.\u00a0Melalui latihan ini, kemahiran bahasa daripada pakar bahasa dapat disalurkan secara terus dan telus kepada pendidik. Maklumat yang telus dan tepat ini dapat membantu memajukan pendidikan bahasa khususnya, serta bakat kesusasteraan dan bakat berbahasa amnya.\nPeranan DBP untuk mengangkat martabat bahasa dan bangsa ke peringkat antarabangsa juga perlu diperkasakan. Hal ini meliputi usaha memperkenalkan serta menjadikan bahasa Melayu sebagai satu daripada mata pelajaran wajib yang perlu dipelajari pada peringkat universiti di dalam negara khususnya, dan peluasan penawaran kursus Bahasa Melayu di universiti luar negara amnya.\nMata pelajaran Bahasa Melayu ini hendaklah diajar merentasi opsyen fakulti. Kurikulum khusus perlu dirangka bermula daripada asas bahasa. Seterusnya, pihak DBP dengan kerjasama pelbagai pihak perlu bekerja keras untuk menembusi pasaran universiti luar negara supaya mata pelajaran Bahasa Melayu dapat ditawarkan dan diajar pada peringkat pendidikan global.\nWalaupun DBP melakukan pelbagai transformasi ke arah Malaysia MADANI, semua usaha ini tidak akan diketahui oleh masyarakat tanpa hebahan maklumat yang pantas melalui media. Media massa memainkan peranan yang penting dalam penyebaran maklumat yang cepat dan pantas.\nPeranan DBP ini perlu diuar-uar kepada masyarakat dari semasa ke semasa melalui media kerana masih ramai yang belum mengetahui fungsi dan peranan sebenar DBP. Segala program, aktiviti, bentuk sokongan dan maklumat perlu disalurkan secara pantas dan telus kerana masyarakat masih kabur dengan maklumat mengenai bentuk sokongan yang boleh diberikan oleh DBP kepada pelbagai pihak.\nKesimpulannya, usaha giat ini perlu dilakukan demi memperkenalkan bahasa Melayu di mata dunia. Dengan cara ini, bahasa Melayu dapat dipromosikan pada peringkat global. Hal ini sangat bertepatan dengan teras Malaysia MADANI, iaitu hormat.\nHormat merupakan perilaku budi bahasa kepada kekayaan tradisi, merayakan kemajmukan dan meraikan perbezaan pandangan dunia. Menerusi usaha ini, akhirnya DBP bukan sekadar simbol bahasa Melayu, tetapi menjadi badan induk yang mengantarabangsakan bahasa Melayu dalam kerangka Malaysia MADANI." "DBP Nama dari Suatu Sejarah Perjuangan Bahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada hari ini, 67 tahun yang lalu telah tertubuhnya sebuah badan yang dilahirkan dari rahim suatu sejarah bangsa. Nama badan yang dikenali awalnya sebagai Balai Pustaka itu menjadi salah satu tinta sejarah negara bangsa yang akan mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.\nNamun sebelum lahirnya badan yang dikenali sebagai Dewan Bahasa dan Pustaka ini, semuanya bermula dari sejarah perjuangan kebangsaan untuk menjadikan bahasa Melayu, iaitu bahasa yang telah menjadi bahasa pengucapan seluruh rakyat rantau ini khususnya sejak abad yang ke-15 dan umumnya sejak abad ke-7 Masihi.\nOleh itu, sebagai hasrat untuk menjadikan\u00a0bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kepada\u00a0sebuah negara yang merdeka, pada 12\u00a0April dan 13 April 1952,\u00a0pertubuhan-pertubuhan bahasa dan persuratan di seluruh Tanah Melayu telah bersepakat mengadakan Persidangan Persuratan Melayu Sa-Malaya kali Pertama,\u00a0yang kemudiannya dikenali sebagai Kongres Bahasa dan Persuratan \u00a0Melayu yang Pertama.\nSeterusnya, Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu yang Kedua pula berlangsung pada 1\u00a0Januari dan 2 Januari 1954 di Seremban, \u00a0terus menjadi medan mendesak kerajaan pada waktu itu bahawa bahasa Melayu harus menjadi bahasa rasmi dan komunikasi dalam sebuah negara yang merdeka kelak.\nHasil daripada beberapa rundingan dengan pihak Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang sedang menyusun agenda kemerdekaan daripada kerajaan Inggeris telah mengisytiharkan penubuhan Balai Pustaka pada 22 Jun 1956 yang dinaungi di bawah Kementerian Pelajaran.\nNamun\u00a0begitu, pada 21 September 1954 hasil daripada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-3 yang berlangsung di Singapura dan Seremban dari 16\u00a0September\u00a0hingga 21 September telah menetapkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai sebuah agensi kerajaan yang kelak akan bertanggungjawab dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara.\n\u201cIstiadat penutupan Kongres pula diadakan pada pukul 3 petang, 21 September 1956, bertempat di Dewan Istana Besar, Bukit Serene, Johor Bahru. Dalam istiadat ini, diadakan istiadat penyampaian kehormatan kongres kepada Zainal Abidin Ahmad (Za\u02bbba), dan Kongres menganugerahkan gelaran \u201cPendeta\u201d\u00a0dan memakaikan songkok kepada Za\u02bbba.\n\u201cSelanjutkan, setiausaha Kongres mengisytiharkan keputusan Kongres dan keputusan tersebut disampaikan oleh pengerusi Kongres kepada Yang Berhormat Menteri Pelajaran Tanah Melayu, iaitu Dato\u2019 Abdul Razak bin Dato\u2019 Hussein. Dalam ucapannya, Dato\u2019 Abdul Razak mengisytiharkan bahawa nama Balai Pustaka dengan rasminya ditukar kepada Dewan Bahasa dan Pustaka\u201d.\nBermula dari detik itu, DBP terus mengatur langkah yakin bagi mengembangkan bahasa Melayu\u00a0sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang akan merdeka.\nSetelah termaktubnya Akta Dewan Bahasa dan Pustaka\u00a0pada\u00a01 Ogos 1959, peranan DBP semakin jelas dalam mengatur langkah terancang sebagai perancang bahasa di sebuah negara yang berdaulat.\n\u201cSuatu Akta untuk mendirikan dan menubuhkan suatu badan bernama Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menggalakkan perkembangan bahasa dan kesusasteraan dalam Malaysia.\u201d\nRentetan peristiwa penting tersebut, DBP terus melangkah dengan yakin dalam menyusun perancangan menjadi bahasa Melayu sebagai bahasa negara sekali gus sebagai bahasa ilmu di Malaysia.\nSelaras dengan falsafah \u201cPembinaan Negara Bangsa melalui Bahasa Melayu\u201d, DBP sepanjang 67 tahun telah mencipta\u00a0banyak sejarah penting dalam memartabatkan bahasa Melayu atau yang dikenali sebagai bahasa kebangsaan di sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik.\nJusteru, pada permulaan langkah, DBP telah menggunakan pendekatan \u201ckenal dan cinta\u201d terhadap bahasa kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia. Melalui kempen Minggu Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan dengan slogan \u201cBahasa Jiwa Bangsa\u201d yang sekali gus menjadi moto penubuhannya, DBP mulai mendekati hati masyarakat agar yakin dengan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi untuk menyatupadukan masyarakat yang kaya dengan budaya dan adat resam masing-masing.\nHal ini dapat dilihat dalam kempen 10 Rukun Bahasa Kebangsaan yang berikut (disesuaikan kembali kepada ejaan baharu):\nKempen ini berterusan sehingga pihak kerajaan mengumumkan Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967. \u00a0Namun\u00a0begitu, rang undang-undang ini telah mencetuskan \u201cApi dari Suatu Zaman\u201d\u00a0dan telah terjadi peristiwa sejarah penting kepada kesungguhan DBP dalam memartabatkan bahasa kebangsaan dalam semua ranah ilmu di Malaysia.\nPeristiwa Perarakan \u201cKeranda 152\u201d itu telah menyedarkan pihak kerajaan tentang kesungguhan DBP dalam menjalankan amanah yang diberikan sebelum kemerdekaan negara.\nHasilnya, pihak kerajaan telah mengambil keputusan untuk menetapkan bahasa kebangsaan menjadi bahasa rasmi yang tunggal seperti yang ditulis dalam Perlembagaan Fasal 152 melalui Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (disemak 1971).\nUntuk membuktikan kesungguhan tersebut, DBP terus bertekad untuk memajukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa negara dengan langkah yang lebih tersusun kemas melalui pendekatan pembinaan, pengembangan, dan penerbitan.\nHasrat kepada pendekatan tersebut adalah untuk menaik taraf bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu termasuk dalam bidang sains dan teknologi yang ketika itu mula memperlihat potensi perkembangan ilmunya di seluruh dunia, apatah lagi setelah dunia tamat daripada Perang \u00a0Dunia Kedua.\nUntuk menjadikan\u00a0bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, pembinaan korpus bahasa menjadi keutamaan DBP. Atas faktor tersebut, DBP sejak awal melihat peranan majalah sangat penting dalam menyebarluaskan pemikiran tentang kemajuan bahasa.\nOleh itu, seawal tahun 1957, DBP telah menerbitkan majalah pertama, iaitu Dewan Bahasa\u00a0yang bercorak ilmiah mengenai bahasa dan sastera. Majalah ini menjadi suatu sejarah penting kerana sehingga kini, ia terus diterbitkan dengan penumpuan kepada perbincangan tentang isu dan perkembangan bahasa kebangsaan.\nSelain itu, sebagai badan bahasa yang bertujuan untuk memajukan\u00a0bahasa Melayu sebagai bahasa moden, DBP sejak awal penubuhan juga telah mewujudkan pelbagai jawatankuasa menyusun dan membina istilah, ejaan, tatabahasa dan laras bahasa yang baku atau standard di semua peringkat dan masyarakat.\nJawatankuasa Ejaan Rumi Persekutuan Tanah Melayu telah diwujudkan dengan bekerjasama dengan Panitia Pelaksanaan Bahasa Indonesia. Namun\u00a0begitu, jawatankuasa ini tergendala apabila berlaku konfrontasi antara Malaysia dengan Indonesia pada tahun 1966.\nCarik-carik bulu ayam bercantum juga\u00a0dan\u00a0itulah yang dapat diibaratkan terhadap negara Malaysia dan Indonesia yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa negara masing-masing. Akhirnya pada 16 Ogos 1972,\u00a0terlaksana Sistem Ejaan Rumi Baharu yang digunakan dan dirujuk hingga kini di Malaysia.\nDi Indonesia pula dikenali sebagai Sistem Ejaan Yang Disempurnakan. Usaha untuk menyatupadukan bahasa Melayu yang menjadi bahasa pengantar kedua-dua negara Malaysia\u2013Indonesia ini juga terus didayausahakan oleh DBP seperti yang telah dilaksanakan dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu dengan tema \u201cMengangkat Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN dan Antarabangsa pada 22\u00a0Mei-24 Mei 2022.\nUntuk membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu, DBP turut menyusun kamus secara sistematik dan teratur sejak pertengahan\u00a0tahun\u00a01963. Hasilnya, edisi pertama kamus ekabahasa telah terbit pada tahun 1970 dengan jumlah entri kira-kira 30 000 kata.\u00a0Kemudian, diikuti pula\u00a0dengan edisi kedua pada tahun 1989 dan edisi ketiga pada tahun 1994, dan edisi keempat pada tahun 2005 dengan jumlah 82\u00a0900 entri atau kata masukan.\nKeyakinan DBP bahawa bahasa Melayu setanding dengan bahasa dunia dan berkembang seiring dengan zaman telah terbukti apabila DBP berjaya menyempurnakan penyusunan Kamus Dewan Perdana (KDP) atau pada awalnya diberi nama Kamus Besar Bahasa Melayu Dewan yang telah dirancang seawal tahun 1990.\nDengan terbitnya\u00a0KDP ini pada 1 Oktober 2020, DBP sekali lagi \u00a0memperlihat taring kewibawaan dalam memajukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa negara. KDP merupakan kamus bahasa Melayu terbesar dan terlengkap yang mendokumentasikan penggunaan dan perkembangan bahasa Melayu mulai awal tahun 1900 hingga kini.\nSelain itu, DBP juga telah menerbitkan kamus dwibahasa dan kamus glosari istilah sebagai tanda bahasa Melayu berupaya menjadi bahasa dunia. Antara kamus dwibahasa yang diterbitkan oleh DBP termasuklah\u00a0Kamus Dwibahasa Bahasa Inggeris\u2013Bahasa Malaysia\u00a0(1979), Kamus Perancis\u2013Melayu\u00a0(1996), Kamus \u00a0Thai\u2013Melayu Dewan (2008) dan beberapa lagi.\nKamus Istilah\u00a0juga telah menjadi satu tugas yang mesti kepada DBP sebagai badan bahasa yang berwibawa dengan membina dan menerbitkan serta menyebarkan berjuta istilah yang mencakupi seluruh bidang ilmu yang wujud, antaranya dalam bidang budaya, sains, teknologi, perdagangan, pelaburan, politik, agama, seni, sosial, sukan, undang-undang, dan sebagainya.\nDBP sebagai sebuah badan bahasa turut melakukan pelbagai kajian sejarah bahasa dengan menerbitkan pelbagai buku yang berkaitan\u00a0dengan\u00a0pensejarahan bahasa Melayu yang dikatakan telah wujud seawal abad ke-7 Masihi di bawah kerajaan Sriwijaya.\nNamun begitu, yang penting DBP telah mencipta sejarah dalam pensejarahan bahasa kebangsaan apabila telah berjaya membangunkan enjin carian\u00a0terbesar bahasa Melayu di Malaysia dan juga menjadi rujukan di seluruh\u00a0dunia.\nEnjin carian yang dinamakan Pusat Rujukan Persuratan Melayu\u00a0atau dikenali sebagai PRPM itu semasa tulisan ini ditulis, menduduki tempat keempat sebagai laman web kerajaan yang sering dirujuk oleh rakyat di Malaysia,\u00a0juga di seluruh dunia sebagai enjin carian berbahasa Melayu yang sahih dan dipercayai.\nBegitulah DBP terus melangkah maju dengan peredaran zaman yang sentiasa mencabar dan meminta perubahan segera. DBP yang sentiasa menjadi perhatian rakyat Malaysia dalam melihat potensi bahasa kebangsaan dalam kedudukan yang terbaik, khususnya daripada para aktivis dan perjuang bahasa, telah menjadikan\u00a0DBP sentiasa peka akan\u00a0perancangan dan kegiatan kebahasaannya.\nHal ini dapat dilihat melalui kempen-kempan bahasa dengan tujuan utamanya\u00a0untuk memupukkan rasa kecintaan dan kesedaran masyarakat terhadap bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi dan perpaduan di Malaysia.\nDimulai dengan Kempen Minggu Bahasa Kebangsaan pada tahun 1960, yang kemudian diganti dengan Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun 1966. Seterusnya, pada tahun 1987 dengan Kempen Gerakan Cintailah Bahasa Kita. Sekali lagi kempen itu dijenamakan dengan Bulan Bahasa dan Sastera Negara yang diadakan bermula pada setiap\u00a0bulan\u00a0September dari tahun 1999. Kemudian,\u00a0sekali lagi kempen bahasa kebangsaan bertukar nama kepada Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun 2009. Kini bermula\u00a0pada\u00a0tahun 2019 dengan nama Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan atau DBK.\nBumi mana yang tidak ditimpa\u00a0hujan,\u00a0begitulah yang boleh diibaratkan kepada dunia dan DBP, khususnya apabila di seluruh dunia bermula pada awal tahun 2020 telah dilanda serangan COVID-19 yang secara umumnya merencatkan serba sedikit kerancakan aktiviti pembinaan dan pengembangan kebahasaan di DBP. \u00a0Namun begitu, DBP yang sentiasa bersedia dengan kemungkinan turut beradaptasi segera dengan pengembangan teknologi semasa khususnya dalam ledakan teknologi dalam era Revolusi 4.0.\nOleh itu, DBP dengan cekap telah melihat potensi perubahan teknologi dan juga kehendak masyarakat bahasa kepada perubahan dunia digital yang lebih cepat dan mengikut arus peristiwa semasa. Oleh\u00a0itu,\u00a0DBP telah melangkah maju dengan mencipta nama dalam sejarah kebahasaan sekali lagi apabila pada tahun 2021, \u00a0DBP telah berjaya mewujudkan JendelaDBP,\u00a0iaitu sebuah pelantar penerbitan digital yang bertujuan untuk menyebarluaskan aktiviti dan produk bahasa, sastera dan persuratan di seluruh dunia.\nBegitulah DBP, nama yang wujud dari suatu sejarah perjuangan untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan ilmu dalam sebuah negara yang merdeka telah mencipta banyak sejarah penting untuk dibanggakan. Namun\u00a0begitu, sebagai sebuah badan kerajaan yang lahir daripada suara rakyat, DBP akan terus mempertahan keyakinan bahawa perjuangan memartabatkan bahasa Melayu merupakan satu\u00a0daripada\u00a0agenda kebangsaan yang harus terus disokong oleh semua pihak bagi kerajaan yang memerintah,\u00a0mahupun\u00a0rakyat Malaysia yang cinta\u00a0akan perpaduan serta mempunyai satu keyakinan untuk terus maju bersama-sama dengan nilai kebangsaan yang teradun kemas dalam falsafah Rukun Negara.\nDirgahayu DBP!\nDirgahayu Bahasa Jiwa Bangsa!" "DBP dan Pemartabatan Amalan (Polisi) Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBahasa Melayu lahir sejak ribuan tahun dahulu bersama-sama\u00a0kelahiran etnik yang menuturkannya sehingga berkembang sebagai bahasa pemerintah yang menguasai Alam Melayu yang mencipta ketamadunan semasa selewat-lewatnya sejak kurun ke-7 Masihi. Faktor yang menjadikan pemerintah yang menguasai Alam Melayu daripada etnik Melayu serta berbahasa Melayu pastinya mempunyai sejarah dan keistimewaan tersendiri. Oleh itu,\u00a0aspek sejarah dan sosiobudaya berkait rapat dengan usaha pemerkasaan bahasa Melayu terutama oleh\u00a0Dewan bahasa dan Pustaka (DBP).\nEtnik,\u00a0menurut Smith (1986), Horowitz (1985), Anderson (1991) dan Kellas (1991) bermaksud kumpulan manusia yang diklasifikasikan mengikut keturunan, kebudayaan, kepercayaan, bahasa, ras, puak, tradisi, adat resam, simbol dan asal usul. Asal usul itu termasuklah tempat, sejarah dan kebudayaan suatu etnik itu secara amnya.\nKurun ke-7 Masihi\u00a0ialah tanda zaman\u00a0kegemilangan Kerajaan Melayu Tua Sriwijaya,\u00a0yang merupakan penguasa tunggal bagi 15 wilayah jajahan takluk yang dicatatkan Chao Ju-Kua (Hirth & Rockhill, 1911) yang meliputi Pa-lin-fong (Palembang), Kien-pi (Jambi), Lan-wu-li (Lamuri) di Acheh, Sin-t\u2019o (Sunda), Tambralinga (Ligor atau Nakhon Si Thammarat) di Selatan Siam, Si-lan (Kemboja), Pong-fong (Pahang), Tong-ya-nong (Terengganu), Ling-ya-si-kit (Langkasuka), Kilan-tan (Kelantan), Fo-lo-an (Kuala Berang), Ji-lo-t\u2019Ing (Cherating), Tsi\u2019ien-mai (Semawe) di Semenanjung Tanah Melayu, Pa-t\u2019a (Sungai Paka) dan Kia-lo (Graha atau Krabi) di utara Semenanjung Tanah Melayu.\nPerbezaan antara kumpulan etnik daripada istilah bangsa adalah\u00a0kerana kumpulan etnik sukar berubah kerana asasnya pada darah keturunan (deoxyribonucleic acid\u00a0atau DNA). Sebaliknya, bangsa diasaskan pada kewarganegaraan. Maksud bangsa (nation)\u00a0dan kebangsaan (nationality)\u00a0lebih mudah difahami jika merujuk istilah warganegara (citizen)\u00a0dan kewarganegaraan (citizenship)\u00a0pada hari ini, iaitu dalam kerangka sains politik.\nSebelum wujudnya istilah bangsa dan warganegara, terminologi sepadan yang boleh dirujuk ialah umat nabi dan rakyat raja kerana tidak membataskan anggota komunitinya pada etnik tertentu di bawah pemerintahan dan kepimpinannya. Kepimpinan tertinggi bagi kumpulan etnik pada zaman dahulu terletak kepada ketua masing-masing yang mendiami kawasan tertentu tanpa wilayah yang tetap. Dalam kalangan nabi,\u00a0terdapat pemerintah seperti Nabi Ibrahim (AS), Nabi Sulaiman (AS), Nabi Daud (AS), dan Nabi Muhammad (SAW), begitu juga gelaran raja yang diberikan kepada pemerintah bagi pengikut masing-masing. Dalam lingkungan mereka terbentuk sistem pemerintahan tersendiri.\nRiggs (1985) dan Kellas (1991) menjelaskan bahawa bangsa merupakan suatu entiti yang dibina oleh anggota komuniti yang merasakan ikatan kepada unsur objektif dan subjektif. Unsur objektif itu terdiri daripada segala unsur yang membentuk sebuah negara atau negeri sebagai organisasi pemerintahan yang sah, memiliki wilayah politik, rakyat yang mendukung sistem pemerintahannya, undang-undang, dan badan pelaksanaan serta penguatkuasaan undang-undang.\nBagi\u00a0unsur subjektif pula terdiri daripada kesedaran dan kecintaan yang mendalam terhadap unsur objektif negara itu dengan sepenuh jiwa raga sehingga sanggup meletakkan kepentingan negaranya di atas kepentingan lain, malah bersedia untuk berkorban nyawa demi memelihara unsur tersebut. Perasaan sebegitu disifatkan oleh Riggs (1985) sebagai nasionalisme, dan dengan perasaan tersebut maka terbinalah negara-bangsa.\nBahasa seperti yang dinyatakan merupakan unsur kepada etnik dan terus menjadi faktor penting dalam pembinaan negara bangsa apabila bahasa tersebut\u00a0juga bahasa pemerintah bangsa itu. Kedudukannya sebagai bahasa pemerintah dengan sendirinya mempengaruhi adat dalam masyarakat dan negara kerana bahasa merupakan alat komunikasi terpenting.\nSuatu adat tidak mungkin terbentuk tanpa difahami oleh ahli etnik serta kumpulan etnik yang hidup bermasyarakat dan bernegara. Bahasa itu sendiri merupakan simbol ketamadunan. Tidak semua bangsa di dunia pada hari ini mempunyai bahasa sendiri, termasuklah kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat.\nSementara itu, adat secara harfiah bermaksud kebiasaan dan kelaziman. Secara istilahnya,\u00a0adat itu termasuklah suatu yang diabsahkan oleh sesebuah kerajaan serta diterima dalam masyarakat yang terdiri daripada kumpulan etnik sama ada sebagai undang-undang, peraturan, tertib, kaedah, tatacara, amalan, nilai, ataupun kefahaman tentang suatu perkara dan istilah bahasa.\nKedudukan sesuatu perkara di sisi adat berbeza mengikut sifat dan jenisnya. Adat juga menunjukkan kelaziman suatu perkara termasuklah hukum alam. Elemen kebiasaan, kelaziman dan amalan dalam takrifan adat itu kini dikembangkan dalam pelbagai disiplin ilmu atau sains mengikut sifat, jenis dan keperluan serta diberikan identifikasi mengikut ilmu alam, sosial dan kemanusiaan pada hari ini.\nMereka yang celik sejarah akan berasa kagum dengan kegemilangan yang telah dicapai oleh bangsa Melayu yang merupakan rakyat Raja Melayu\u00a0yang\u00a0terdiri daripada kumpulan etnik yang mendiami Alam Melayu, iaitu wilayah kekuasaan Raja Melayu. Wilayah kekuasaan Raja Melayu tidak hanya di darat, bahkan meliputi lautan yang terbentang luas kerana Kerajaan Melayu Tua juga merupakan penguasa maritim dan perdagangan sehingga terbentuknya\u00a0Laut Melayu yang merentasi 15 jajahan takluk yang dikuasai oleh Kerajaan Melayu Tua Sriwijaya.\nKedudukan bahasa Melayu bertulisan Jawi yang mencapai puncak kegemilangannya pada zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 sebagai lingua\u00a0franca\u00a0meletakkannya sebagai antara bahasa utama dunia dan perakam khazanah ilmu yang tidak hanya terbatas dalam pengajian politik, ekonomi, teknologi maritim dan pengurusan logistik.\nBahasa Melayu yang bukan sahaja menyimpan khazanah bangsa Melayu yang berdaulat, malah rekod komunikasi antara negara dan benua pastinya menjadi rujukan bangsa asing khususnya sarjana Barat untuk membina tamadun moden dunia yang ada pada hari ini. Kuasa Barat yang bermula dengan Portugis seawal kurun ke-16 mula memunggah khazanah tersebut dari Kota Pelabuhan Melaka bersama-sama\u00a0harta kekayaan lain\u00a0Kesultanan Melayu Melaka. Sejarah membuktikan bahawa kuasa Barat hanya mampu bangkit apabila mereka menggali ilmu di dunia Islam melalui penguasaan bahasa Arab dan perkara yang sama berlaku melalui penguasaan bahasa Melayu.\nAsas yang dinyatakan di atas menunjukkan betapa pentingnya bahasa Melayu dan tulisan Jawi yang merupakan bahasa \u00a0dan tulisan pemerintah Raja-Raja Melayu zaman-berzaman serta rakyat baginda. Bahasa Melayu sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa watan di Alam Melayu yang dimaktubkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa kebangsaan.\nKedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menurut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan terletak dalam pengecualian yang dibenarkan oleh Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tadbir urus aspek diskriminasi. Pemartabatan amalan (polisi) bahasa Melayu yang menjadi agenda perjuangan DBP bukanlah bersifat satu pemaksaan bagi pengembangan pengaruhnya dalam sosiobudaya mahupun sistem perundangan tempatan negara. Bahasa Melayu adalah warisan keagungan bangsa yang merupakan jati diri watan Malaysia kerana negara ini terletak dalam wilayah Alam Melayu dan kekal berajakan kesultanan Melayu.\nAmalan (polisi) bahasa Melayu perlu dikembalikan ke kedudukannya seperti zaman sebelum campur tangan British dalam hal ehwal negeri di Malaysia. Penggunaannya dari segenap aspek juga perlu dipertingkat untuk memenuhi keperluan semasa dan akan datang termasuklah pengajian tulisan Jawi lama. \u00a0Tidak wajar ada sikap tidak acuh kepada amalan berbahasa Melayu di Sabah dan Sarawak kerana kedua-dua negeri tersebut yang terletak di Borneo juga di dalam wilayah Alam Melayu sejak ribuan tahun dahulu lagi.\nFungsi DBP yang diberikan menurut Akta DBP (semakan tahun 1978, pindaan dan peluasan 1995), perlu diperkasakan dengan beberapa pindaan yang sudah pun dibawa kepada pertimbangan Kementerian Pendidikan Malaysia seperti yang dimaklumkan oleh mantan Pengerusi Lembaga Pengelolanya, Yang Berhormat Senator Datuk Seri Dr.\u00a0Haji Awang Sariyan.\nKuasa yang diberikan oleh perenggan (b) Perkara 152(1) kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk memelihara penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain pastinya perlu dibaca bersama dengan semangat sumpah kewarganegaraan dalam Jadual Pertama Perlembagaan Persekutuan. Hal ini kerana hanya bahasa Melayu dapat memupuk jiwa bangsa Malaysia yang dituntut bersama-sama\u00a0sejarah tempatannya. Untuk menjelaskan lagi kedudukan tersebut, petikan Sumpah Kewarganegaraan dikemukakan untuk renungan bersama seperti yang berikut:\nJADUAL PERTAMA\n[Perkara 18(1), 19(9)]\nSumpah Pemohon bagi Pendaftaran atau Penaturalisasian\n\u00a0\nSaya...beralamat di ... dengan ini mengaku atas sumpah bahawa saya dengan sesungguhnya dan sepenuhnya menolak dan bersumpah meluputkan segala kesetiaan saya kepada mana-mana negeri atau Negara di luar Persekutuan, dan saya bersumpah bahawa saya akan jujur dan menumpahkan segala taat setia saya yang sebenar kepada Seri paduka baginda\u00a0Yang di-Pertuan Agong dan akan menjadi seorang warganegara Persekutuan yang sebenar, setia dan jujur\u00a0\n\u00a0\nWalaupun sumpah tersebut disyaratkan buat mereka yang memohon kewarganegaraan Malaysia, seseorang yang menjadi warganegara melalui kelahiran dan keturunan semestinya lebih menjiwai prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan watan negara ini. Hal ini adalah kerana mereka lahir di bumi Malaysia dan tidak pernah mempunyai kewarganegaraan lain selain Malaysia.\nOleh itu, kerajaan disarankan untuk menggubal pindaan undang-undang berkenaan untuk menjadikan DBP sebagai pihak berkuasa bahasa utama selepas Yang di-Pertuan Agong. DBP juga perlu diberi kuasa untuk melaksanakan penguatkuasaan dari\u00a0aspek bidang kuasanya selaras dengan kuasa yang diperuntukkan kepada agensi kerajaan yang lain seumpamanya.\nSementara\u00a0itu, DBP perlu lebih proaktif untuk melaksanakan aktiviti penerbitan semula istilah lama Melayu yang ada agar tidak pupus khususnya yang boleh membantu takrifan perundangan di samping melaksanakan penterjemahan dan pengistilahan baharu agar keperluan dalam pelbagai disiplin ilmu dapat dipenuhi.\nLantaran\u00a0itu, pindaan untuk memperkasakan fungsi DBP serta amalan bahasa kebangsaan pada kedudukan yang sewajarnya perlu dilakukan khususnya ke atas Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 tanpa berlengah lagi.\n\u00a0\nDatuk Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain \u2212 \u00a0Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun, Universiti\u00a0 Islam Antarabangsa Malaysia/Pengasas Jurisprudens Watan" "Hasil Karya Terbitan DBP Memperkaya Bahasa, Budaya dan Seni \u2013 YB Fadhlina Sidek\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Hasil karya terbitan DBP mempunyai kritikan sosial yang sangat mendalam dan memberikan kesan yang cukup besar kepada masyarakat seperti karya Sasterawan Negara (SN) Dato\u2019 Dr. Mohd Anuar Rethwan dan SN Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang patut dibaca oleh pelajar sekolah.\nHasil karya tersebut merupakan refleksi kepada banyak faktor yang mampu melahirkan tokoh multidimensi hanya dengan kekuatan budaya membaca. Tokoh multidimensi ini sebenarnya terdapat dalam kalangan tokoh SN, iaitu mereka bukan sahaja penulis, pendakwah, penulis kritik sosial yang \u201ctajam\u201d tetapi juga memperkaya bahasa, budaya dan seni dalam konteks masing-masing.\nDemikian antara inti pati ucapan Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek semasa merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-67 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung pada pukul 9.00 pagi tadi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur. Selain itu, bersempena dengan majlis ini juga diadakan majlis pelancaran buku Gaya Dewan Edisi Keempat dan Portal E-Wadah.\nMajlis anjuran DBP melalui Bahagian Komunikasi Korporat ini turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Pkharuddin Ghazali (Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia), YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan (Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP), ahli-ahli Lembaga Pengelola DBP, mantan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, mantan Ketua Pengarah DBP, pengarah-pengarah jabatan, pengarah cawangan dan wilayah DBP, sasterawan negara, pegawai kanan kementerian, ketua-ketua bahagian DBP, tetamu kenamaan, petugas media, para pelajar dan guru serta para karyawan DBP.\nMenurut YB Fadhlina Sidek, jangka masa 67 tahun ini merupakan refleksi yang sukar untuk diteruskan kerja pengembangan bahasa tanpa kerjasama yang kukuh daripada DBP.\nPemilihan slogan \u2018Nama dari suatu sejarah\u2019 sebagai bersempena dengan sambutan ulang tahun DBP pada tahun ini amat signifikan kerana kelahiran organisasi ini atas desakan daripada kesaktian lidah rakyat yang menuntut kedudukan istimewa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Perjuangan para pemuka dan generasi pendahulu organisasi ini bukan kepalang tanggung kobar semangatnya.\nTambahnya lagi, lirik lagu Dewan Bahasa juga begitu indah kerana ditulis oleh SN. Bagi menguatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar sekolah dan dapat menggunakan bahasa Melayu dengan betul, beliau juga berharap agar selepas ini penulisan lirik lagu dapat ditulis oleh SN.\nLirik lagu Dewan Bahasa ini seharusnya dikongsikan juga dengan sekolah-sekolah supaya mereka tahu tentang apa-apa yang ditulis dan dihasratkan oleh pihak DBP. Untuk itu, mulai tahun depan, saya berharap agar DBP mula turun ke sekolah-sekolah untuk sama-sama memperingati dan meraikan ulang tahun ini dengan para pelajar di sekolah-sekolah. Saya juga berharap agar ada tokoh-tokoh bahasa dan budaya ditempatkan di dalam Dewan Negara untuk bercakap tentang soal bahasa dan memperkenalkan suasana perdebatan yang tinggi sifatnya dari segi bahasa dan penguasaan dewan secara keseluruhannya.\nMenurutnya lagi, DBP banyak mengadakan prakarsa dan program dekad bahasa dan dekad membaca yang bertujuan untuk kepentingan bahasa. Semua program ini tidak akan berjaya tanpa adanya \u201cpembudayaan\u201d. Aspek pembudayaan ini sangat penting kerana beliau turut membesar dalam pembudayaan ilmu dan intelektual, iaitu pembudayaan bahasa Melayu perlu diucapkan dengan penuh kebanggaan.\nKita boleh terus hidup sebagai bangsa yang kuat dengan mengamalkan jati diri masing-masing tetapi kita boleh membina negara ini dengan lebih baik dalam bingkai kesatuan. Kepelbagaian itulah yang akan menjadikan kita lebih kuat sebagai satu bangsa tetapi dalam bingkai kesatuan yang sama, antara lainnya termasuklah bahasa yang akan terus menjadi tali yang erat mengikat kita semua sebagai satu bangsa.\nTerdahulu dalam majlis yang sama, YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan dalam ucapan alu-aluannya turut menjelaskan bahawa DBP akan memperluas fungsinya daripada hal pembinaan, pengembangan dan penerbitan kepada satu ranah yang baharu, iaitu penguatkuasaan, perniagaan, pengantarabangsaan, dan pengiktirafan bahasa, sastera dan persuratan.\nMarilah kita menilai diri kita sendiri dan bersikap terbuka untuk menerima nasihat, teguran dan pandangan daripada semua pihak yang bukan sahaja daripada DBP tetapi juga pengguna bahasa Melayu. DBP sentiasa akan melakukan penjajaran mengikut keadaan semasa dan perubahan zaman." "Judul Filem Berbahasa Kasar Tetap Lulus untuk Tayangan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Selepas filem Isi Neraka terbitan Malay Film Productions, Jalan Ampas, Singapura pada tahun 1960 dan Lebuhraya ke Neraka (2017), rasa-rasanya tiada lagi filem Melayu yang menggunakan perkataan \u201cneraka\u201d untuk judulnya. Mungkin hal ini disebabkan oleh tidak banyak karyawan filem Melayu negara ini yang berani menggunakan judul yang kasar dan keras bahasanya. Sebaliknya, yang kian ketara sejak beberapa tahun belakangan ini ialah penggunaan bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris, atau bahasa rojak untuk tajuk filem.\nNamun begitu, kini sebuah filem baharu yang berjudul Jemputan ke Neraka akan memulakan tayangan umumnya di 70 buah pawagam tanah air mulai hari ini. Filem ini diterbitkan oleh pelakon, Naszriah Ngasri, atau lebih mesra dengan panggilan Anne, yang merupakan filem pertama syarikatnya, iaitu AN Universal Sdn. Bhd.\nJemputan ke Neraka\u00a0merupakan filem arahan pengarah filem muda, iaitu Amor Rizan yang pernah mengarah drama rantaian televisyen seperti Misteri Mona dan Kembali yang Hilang.\nFilem ini dibintangi oleh Janna Nick, Hafreez Adam, Sharifah Sakinah, Nick Syaf, Hariz Hamdan, Amy Nurtinie, Jasper Supayah, Alif Hadi, Wafariena Roslan, Aleza Shadan, dan Azhar Amir.\nMenurut Anne, 39, judul filem ini memang dianggap agak kasar tetapi hal itu tidak menjadi masalah kerana Lembaga Penapisan Filem (LPF) telah memberikan kelulusan tayangan di pawagam.\nFilem Jemputan ke Neraka sangat unik kerana karyawan filem Melayu negara kita tidak berani menggunakan judul sebegini. Kebanyakan karyawan filem Indonesia sahaja yang berani. Sejujurnya, saya tertarik dengan filem ini kerana judul yang diberikan oleh Amor.\nMemang seelok-eloknya dan seboleh mungkin judul filem Melayu di negara ini menggunakan bahasa Melayu. Alasan penggunaan bahasa Inggeris (bahasa asing) atau bahasa rojak dalam filem lebih sesuai tidak boleh diterima. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan amat wajar dihormati oleh semua pihak.\nYang menariknya, tiada adegan dalam filem ini dipotong oleh LPF kerana Anne memberitahu pihaknya memang berwaspada agar filem ini sesuai dengan penonton Malaysia. Amor sendiri sebagai penulis lakon layar juga sentiasa berhati-hati. Filem Jemputan ke Neraka ini menelan kos pembiayaan lebih RM1 juta." "Bahasa yang Indah Mencerminkan Identiti Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\n\nKUALA LUMPUR \u2212 \u201cPenamaan tempat awam bukan sekadar untuk menyampaikan mesej kepada orang awam, bahkan perlu dilakukan dengan cara mendaulatkan bahasa kebangsaan. Penggunaan bahasa yang canggung tidak mencerminkan identiti Malaysia yang mendukung bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.\u201d\nDemikian antara isu yang dilontarkan oleh Munsyi Dewan, Azhar Salleh atau lebih dikenali sebagai Cikgu Azhar. Beliau berkata demikian dalam Rancangan Peka Bahasa: Penamaan Tempat Awam yang Indah dan Menepati Citra Kebangsaan\u00a0yang bersiaran secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 10.00 pagi tadi.\n\nMenurut beliau lagi, setelah dasawarsa bersinergi antara pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), hasilnya sangat memberangsangkan. Namun begitu, hingga kini masih berlaku penamaan tempat awam yang mencemarkan bahasa Melayu dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan pemilihan kata yang tidak tepat.\nTanpa mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, Cikgu Azhar berpendapat bahawa semua pihak harus memberikan kerjasama kepada DBP. Nama bangunan, kedai, premis perniagaan dan tempat rekreasi yang menjadi tumpuan awam perlu diberi perhatian yang serius. Masyarakat awam boleh melaporkan kepada pihak berwajib sekiranya menemukan kecanggungan penggunaan bahasa Melayu di tempat awam.\nUndang-undang sedia ada perlu dikuatkuasakan sepenuhnya dan semua papan tanda yang akan dipaparkan di premis mestilah mendapatkan pengesahan daripada DBP sebelum permit dikeluarkan oleh PBT. Cikgu Azhar yang pernah menulis artikel yang bertajuk \u201cJalan Rosak, Bahasa pun Rosak\u201d di majalah Pelita Bahasa menyebut, \u201cKesedaran penggunaan bahasa yang betul perlulah disemai dan dipupuk pada peringkat awal. Berbanding dengan kaedah kompaun, kesedaran serta kefahaman yang betul lebih bermanfaat untuk jangka masa panjang\u201d.\nDBP juga sentiasa mengambil langkah kreatif dan proaktif dalam memastikan penggunaan bahasa yang betul bagi penamaan tempat awam. Antara inisiatif tersebut termasuklah Audit Pantau Tegur, iaitu DBP akan turun ke lapangan bagi memantaunya. Selain itu, pengiktirafan juga diberikan kepada individu, pertubuhan, sektor awam, sektor swasta, wartawan dan agensi media yang memainkan peranan penting dan berkesan dalam membantu usaha DBP memartabatkan bahasa, sastera dan persuratan Melayu.\nOrang ramai juga boleh memanfaatkan sumber yang disediakan oleh DBP secara maksimum seperti platform secara dalam talian, iaitu Pusat Rujukan Persuratan Melayu\u00a0dan DBP Sah Bahasa." "Membugarkan Semangat Kecintaan Bahasa Melayu Generasi Muda\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Bersempena dengan ulang tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ke-67, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) telah mengadakan sambutan ulang tahun Peringkat Wilayah Timur dengan pelbagai pengisian yang menarik. Sambutan ini diadakan di Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu (IPGMKB) yang melibatkan sebanyak 450 orang peserta yang terdiri daripada rakan-rakan sinergi DBPWT yang telah bersama-sama dan sentiasa memberikan sokongan kepada DBPWT dalam melaksanakan kegiatan pengembangan bahasa dan sastera, khususnya di negeri Kelantan dan Terengganu.\nPuan Ariza Che Ismail, Pengarah DBPWT dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua rakan sinergi yang mewakili jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan, persatuan, guru-guru dan para pelajar yang hadir menjayakan sambutan ulang tahun DBP ke-67 Peringkat Wilayah Timur. Beliau menyifatkan program ini sebagai suatu penghargaan kepada semua pihak yang selama ini bersama-sama menyokong usaha DBPWT mengembang dan memperkasakan bahasa dan sastera kebangsaan.\nYang turut hadir dalam sambutan ini ialah YBhg. Dr. Khairuddin Said, Pengarah IPGMKB, iaitu Encik Noor Azman Md Nawi, Penolong Pengarah Kanan (Pembangunan Modal Insan), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Encik Hazimi Mohd Ghazali, Ketua Penolong Pengarah, Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan dan Encik Samsuring Meli, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Terengganu.\nSambutan selama setengah hari itu dimulakan dengan acara senam seni, persembahan gamelan dan kompang yang dikendalikan oleh para pensyarah dan pelajar IPGMKB. Yang turut tampil ialah barisan anak seni tempatan, iaitu Hafis Mustafa dan Along PM menerusi persembahan sketsa bahasa, persembahan dikir barat oleh Kumpulan Sound Kreatif dan nyanyian lagu puisi oleh Nasir Hassan. Tidak ketinggalan juga ditonjolkan bakat anak-anak muda menerusi acara deklamasi puisi dan dendangan syair.\nBagi membugarkan semangat kecintaan generasi muda terhadap bahasa kebangsaan, ditampilkan juga slot Bicara Bahasa oleh Encik Mohd Amin Abdullah, Mantan Pengarah Kewangan dan Pentadbiran. Kemuncak persembahan sambutan DBP ke-67 Peringkat Wilayah Timur pula menampilkan persembahan Pengucapan Berirama oleh pelajar Sekolah Kebangsaan Chenderong Batu, Wakaf Bharu dan Persembahan Koir lagu Bahasa Jiwa Bangsa dan lagu Dewan Bahasa oleh bakal guru dari IPGMKB dan juga acara cabutan bertuah." "Inisiatif Menggalakkan Penulisan Artikel Majalah dalam Kalangan Pensyarah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Akademi Pengajian Bahasa (APB), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor dengan kerjasama Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur telah menganjurkan Taklimat Penulisan Artikel dalam Majalah Milik DBP pada hari ini di Dewan Serbaguna, Office of International Affairs (OIA), UiTM Shah Alam.\nProfesor Madya Dr. Aini Akmar Mohd Kasim, Koordinator Unit Penyelidikan dan Penerbitan APB, yang mewakili Dekan Akademi Pengajian Bahasa, Profesor Dr. Janudin Sardi telah menyampaikan ucapan perasmian bersempena dengan taklimat tersebut.\nSebanyak 36 orang pensyarah UiTM Shah Alam daripada pelbagai bidang menghadiri taklimat ini selain turut dihadiri oleh Profesor Madya Dr. Sharifah Faizah Syed Mohammed, Dekan Penyelidikan dan Inovasi Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM.\nTaklimat ini dianjurkan bertujuan untuk mendedahkan para pensyarah dengan 11 majalah terbitan DBP dan proses penerbitan artikel dalam majalah milik DBP.\nSehubungan dengan itu, sesi taklimat yang berkaitan dengan majalah telah disampaikan oleh dua orang penceramah dari Bahagian Majalah, iaitu Puan Yusaida Yusof, yang merupakan Editor Dewan Bahasa dan Encik Muhammad Lutfi Zahid, Editor Dewan Budaya. Para peserta juga telah diberikan majalah terbitan DBP sebagai cenderamata.\nTaklimat ini juga telah menerima maklum balas yang memberangsangkan daripada para peserta. Puan Haslinda Md Isa, pensyarah Bahasa Perancis, selaku Penyelaras Korporat APB juga telah menghadiri taklimat ini. Beliau telah berkongsi maklum balasnya terhadap taklimat ini dengan menyatakan bahawa pengisian taklimat ini sangat bagus dan turut berasa seronok melihat peluang penerbitan di majalah milik DBP tersebut.\nSesi soal jawab sepanjang taklimat juga sangat aktif. Para peserta dilihat sangat teruja dan berminat untuk mengetahui dengan lebih jelas hal yang berkaitan dengan penerbitan dengan 11 majalah terbitan DBP.\nTaklimat diakhiri dengan penyampaian cenderamata dan sesi bergambar. Semoga taklimat ini akan menjadi pembakar semangat kepada para pensyarah untuk menulis dan menerbitkan artikel bagi menyerlahkan nama UiTM." "Bahasa Melayu Tali Pengikat Bangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBahasa ialah alat yang terbukti mampu menjadi tali yang menghubungkan dan menyatupadukan masyarakat. Satu bahasa yang sama yang diangkat sebagai bahasa kebangsaan mampu merapatkan jurang antara rakyat kerana dapat difahami dan dikongsi secara bersama. Oleh itu, bahasa merupakan jati diri yang penting untuk membentuk perpaduan dan kesatuan dalam kalangan masyarakat. Dalam hal ini, bahasa kebangsaan bukan sekadar lambang semata-mata, tetapi mewakili roh dan jiwa bangsanya.\nPemilihan bahasa kebangsaan perlu dilakukan sebaik-baik mungkin untuk mengelakkan hal yang tidak diingini pada masa hadapan. Menurut Jeniri Amir dalam buku Suara dari Bawah, 40 buah negara di Afrika, Asia dan Amerika Selatan telah mengalami masalah pembangunan bangsa, seperti tidak maju dan miskin kerana memilih bahasa asing dan bukannya bahasa peribumi sendiri sebagai bahasa kebangsaan.\nDi Malaysia, bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan disebabkan oleh beberapa faktor. Pertama, bahasa Melayu mempunyai penutur yang terbesar di Tanah Melayu pada ketika itu. Kedua, bahasa Melayu merupakan bahasa yang bersifat pribumi. Ketiga, bahasa Melayu diakui sebagai alat komunikasi utama di seluruh Tanah Melayu. Keempat, bahasa Melayu telah lama digunakan sebagai bahasa pentadbiran sebelum Tanah Melayu dijajah.\nPada zaman dahulu, segala surat rasmi dan dokumen perjanjian di Tanah Melayu ditulis dengan menggunakan bahasa Melayu bertulisan Jawi. Bukan itu sahaja, dokumen lain, seperti Undang-undang Tubuh Negeri-Negeri Melayu juga menggunakan bahasa Melayu.\nPedagang yang datang ke Tanah Melayu juga berhempas-pulas untuk mempelajari bahasa Melayu bagi memudahkan komunikasi dengan masyarakat setempat, selain urusan dengan pemimpin tempatan semasa berdagang di Tanah Melayu. Oleh itu, jelaslah bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa yang paling layak diangkat sebagai bahasa kebangsaan kerana pengunaannya yang mencapai tahap tertinggi dan digunakan secara meluas sehingga peringkat antarabangsa pada masa dahulu.\nKini, Malaysia masih bergelut untuk membentuk negara bangsa. Hal ini dikatakan demikian kerana kunci utama pembentukan negara bangsa ialah penerimaan dan perakuan bahasa kebangsaan sebagai identiti dan milik setiap penduduk tanpa mengambil kira kaum.\nDi Malaysia, kaum lain masih tidak menerima bahasa Melayu sebagai bahasa dan identiti mereka. Hal ini terbukti menerusi tuntutan pengiktirafan Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC) yang menggunakan bahasa Cina sepenuhnya dalam proses pelajaran dan pembelajarannya.\nSelain itu, kebanyakan pelajar bukan Melayu juga tidak bersungguh-sungguh untuk mempelajari bahasa kebangsaan, sebaliknya hanya menghafalnya untuk lulus peperiksaan. Hal ini menyebabkan terdapat pelajar yang bukan sahaja tidak fasih berbahasa kebangsaan, malah tidak memahami maklumat yang ingin disampaikan dalam bahasa tersebut. Buktinya, banyak kes pertuduhuan di mahkamah yang dibacakan dalam bahasa Melayu yang tidak difahami oleh golongan tersebut.\nSebenarnya, pelbagai langkah dan strategi telah diatur untuk membolehkan bahasa yang dipilih sebagai bahasa kebangsaan ini mampu berfungsi sebagai bahasa perpaduan dan bahasa ilmu. Contohnya, menurut Paul L Garvin dalam kajian Rozita Che Rodi dan Hashim Musa yang bertajuk \u201cBahasa Kebangsaan sebagai Penggerak Pembangunan Negara secara Ekuitabel ke Arah Negara Maju\u201d, perancangan bahasa sesebuah negara sangat penting dan seharusnya mempunyai beberapa ciri yang bertujuan untuk memenuhi dua fungsi utama, iaitu fungsi simbolik dan fungsi partisipatori.\nWalaupun bahasa Melayu merupakan bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi di Malaysia, pelaksanaannya dilihat kurang berkesan kerana kecurigaan, kebencian dan penolakan kaum lain terhadap bahasa ini. Oleh itu, peranan bahasa kebangsaan sebagai alat perpaduan kaum terus diberi penekanan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006\u20132010 yang dilancarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Melalui teras kedua pelan ini, iaitu membina negara bangsa, bahasa merupakan elemen yang amat dominan untuk menterjemahkan hasrat kerajaan, iaitu membina negara bangsa.\nNamun begitu, fungsi bahasa melayu untuk menyatupadukan masyarakat melalui pendidikan sukar dilaksanakan. Hal ini berlaku demikian kerana kewujudan sistem pendidikan dua aliran, iaitu sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan.\nBukan itu sahaja, bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan juga digugat fungsinya disebabkan oleh perubahan dasar bahasa pada peringkat institusi pengajian tinggi seperti yang diakui oleh Jawatankuasa Mengkaji, Menyemak dan Membuat Perakuan Tentang Perkembangan dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi Malaysia pada tahun 2006.\nKini, bahasa Inggeris pula yang dilihat seolah-olah yang mengambil peranan dan berfungsi sebagai fungsi simbolik dan fungsi partipasi dalam Dasar Bahasa Kebangsaan.\nBahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu diluaskan peranannya untuk memastikan fungsinya sebagai alat perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia berjaya dilaksanakan. Setiap rakyat, tanpa mengira kaum harus menjulang bahasa tersebut sebagai milik dan identiti masing-masing seperti yang dititahkan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Nazrin Shah, iaitu \u201cMenguasai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak bermakna menidakkan hak penggunaaan bahasa lain kerana negara ini memperlihatkan amalan dasar pendidikan yang semakin liberal\u201d.\nNamun begitu, kaum lain dilihat sentiasa berasa tidak selamat dan menentang dasar yang memberikan kelebihan kepada satu-satu kaum sahaja. Dalam hal ini, Mohamed Mustafa Ishak dalam buku Politik Bangsa Malaysia: Pembinaan Bangsa dalam Masyarakat Pelbagai Etnik menyatakan bahawa masyarakat bukan Melayu secara prinsipnya menolak identiti nasional yang berasaskan pengaruh dominan satu etnik, sebaliknya lebih cenderung kepada upaya pembinaan simbol bangsa berasaskan kepelbagaian.\nKesimpulannya, bahasa Melayu wajar diangkat martabatnya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan agar mampu menjalankan fungsinya sebagai bahasa perpaduan di Malaysia.\nAnasir tidak sihat yang menghalang pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan perlu ditangani secara berhemah. Pertentangan sudut pandang masyarakat bukan Melayu terhadap Dasar Bahasa Kebangsan antara faktor yang menyebabkan bahasa kebangsaan dilihat gagal berfungsi sebagai bahasa yang mampu menyatukan masyarakat. Tindakan dan langkah yang proaktif perlu dicari dan dilaksanakan jika Malaysia masih berhasrat untuk membentuk negara bangsa." "Mengapakah\u00a0Trend Guru Bahasa Melayu Bersara Awal Terjadi?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTrend guru Bahasa Melayu memohon bersara lebih awal bukanlah suatu perkara baharu untuk dibincangkan. Namun demikian, sekiranya terus dibungkamkan dan dipandang secara remeh, isu\u00a0ini mampu memberikan\u00a0implikasi besar terhadap institusi pendidikan Malaysia,\u00a0ibarat kudis menjadi tokak,\u00a0iaitu perkara yang kecil jika dibiarkan akan menjadi besar.\nPerkara ini dikesani semakin menjalar selepas berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menekankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Berdasarkan sumber Kementerian Pendidikan, sebanyak 2862 pegawai perkhidmatan pendidikan dari tahun 2021 hingga tahun 2022 yang mengajar subjek tersebut telah memohon persaraan awal.\nIsu ini turut diketengahkan oleh Berita Harian dengan tajuk \u201cGuru Bahasa Melayu, Inggeris paling ramai mohon bersara awal\u201d pada 13 Jun 2023 (https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/06/1113679/guru-bahasa-melayu-inggeris-paling-ramai-mohon-bersara-awal)\u00a0merupakan perkara yang perlu dirungsingkan bersama-sama kerana situasi ini akan mampu membantutkan pengetahuan dan kemahiran pelajar terhadap bahasa Melayu.\nIsu ini terkait dengan beberapa faktor yang lazim berlaku. Antaranya, bebanan kerja Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang menuntut guru Bahasa Melayu menguasai ilmu teknologi selari dengan keperluan semasa yang menimbulkan rasa tidak selesa atau tidak terbiasa untuk mengadaptasikannya selain lambakan kerja bukan akademik yang mengharuskan penglibatan terhadap aktiviti luar bilik darjah seperti aktiviti pentadbiran, aktiviti kokurikulum dan pembangunan guru,\u00a0serta mengurus kebajikan murid yang memberikan\u00a0tekanan kerja tambahan kepada guru Bahasa Melayu kerana terpaksa mengadun masa dan tenaga yang boleh membawa kepada kelelahan mental dan fizikal.\nPerubahan landskap pendidikan yang melibatkan sistem, kurikulum dan kaedah pengajaran menjadi penyumbang kepada berlakunya situasi tersebut. Perubahan ini juga memberikan\u00a0tempias kepada motivasi dan kepuasan diri guru Bahasa Melayu,\u00a0lebih-lebih lagi kepada guru-guru yang berpengalaman dan selesa dengan landskap pendidikan sedia ada. Sekiranya, landskap pendidikan yang dibentangkan tidak signifikan dan melebihi kemampuan untuk memberikan\u00a0sumbangan,\u00a0maka tidak mustahil kelompok ini memilih untuk bersara awal.\nFaktor pengendalian kesihatan juga adalah faktor penting yang mempengaruhi guru Bahasa Melayu mengambil keputusan untuk bersara awal. Gangguan kesihatan menyebabkan guru Bahasa Melayu melalui saat sukar untuk terus istiqamah\u00a0dalam\u00a0meneruskan tugas pengajaran dan berinteraksi dengan pelajar dan rakan sejawat.\nLazimnya, rakan sebaya sentiasa menjadi antara pempengaruh besar dalam membuat keputusan. Oleh itu, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pengaruh rakan sejawat yang telah berpencen juga memainkan peranan yang penting. Antara dialog yang biasa didengari apabila ditanyakan tentang \u201cpasca bersara\u201d itu ialah\u00a0\u201cSeronok, dapat buat apa-apa\u00a0yang kita nak\u201d dan \u201cBeginilah hidup orang bersara, hidup bebas\u201d.\nDialog sebegini bukanlah memberikan\u00a0perspektif negatif kepada orang yang telah bersara tetapi hanyalah semata-mata menzahirkan perasaan yang mereka alami. Dengan hidup yang lebih santai itu berkemungkinan memberikan\u00a0inspirasi kepada guru Bahasa Melayu untuk mengambil keputusan yang sama.\nSelain itu, terdapat peluang pengalaman yang ditawarkan kepada guru Bahasa Melayu untuk mengajar di luar negara dan ada kalanya juga guru Bahasa Melayu mendapat peluang di luar bidang pendidikan seperti dalam sektor penulisan, penerbitan, keusahawanan dan kesukarelawan yang memberikan\u00a0suatu kepuasan perbezaan dengan pekerjaan semasa,\u00a0lalu mengejar jalur dan mengeksplorasikan\u00a0profesion tersebut. Justeru itu, faktor atas alasan mencari pengalaman baharu dan tarikan\u00a0minat menjadi pemberat kepada keputusan untuk bersara lebih awal.\nPengunduran guru Bahasa Melayu yang berpengalaman akan melebarkan jurang kepincangan literasi dalam kalangan pelajar yang dibimbangi berlanjutan hingga ke universiti. Peribahasa \u201cPatah tumbuh, hilang berganti\u201d\u00a0memang mudah dilafazkan tetapi tidak dalam hal ini.\nHal ini kerana demikian bagi melahirkan guru-guru yang menguasai bahasa Melayu dan berpengalaman memerlukan tempoh masa yang lama. Sementelah guru berpengalaman ini mahir dalam selok-belok pedagogi dan mampu mendidik pelajar tentang aspek cakna bahasa.\nAdalah menjadi suatu kerugian kepada sistem pendidikan negara kerana golongan ini secara hakikatnya masih lagi produktif dalam menyumbang idea dan tenaga. Segelintir masyarakat berpendapat bahawa pengambilan guru baharu dilihat sebagai satu alternatif menyelesaikan isu ini.\nPenulis bersetuju tentang hal ini, namun begitu pelapis muda ini masih rapuh dan memerlukan tunjuk ajar daripada guru senior selain perlu terlebih dahulu menyesuaikan diri dengan sistem dan membina kecekapan dalam PdP. Kekurangan guru Bahasa Melayu yang berkualiti akan turut mempengaruhi kualiti pengajaran dan pembelajaran subjek ini di sekolah-sekolah.\nSebagai penyelesaiannya, konsep mentor menti perlu dipraktikkan. Konsep ini berfokuskan pembangunan dan pengembangan kompetensi profesion keguruan bagi guru muda atau pelapis sebagai mentee yang mendapat bimbingan pengetahuan dan kemahiran daripada guru Bahasa Melayu berpengalaman yang dilantik sebagai mentor untuk membentuk kemenjadian guru yang efektif.\nPerkara ini secara langsung akan dapat meningkatkan profesionalisme guru muda dalam bidang pengajaran khususnya dalam merancang pengajaran, mengurus hal ehwal bilik darjah dan bersedia mengalas pelan penggantian tersebut.\nSebagai tambahan, pihak sekolah boleh berkolaborasi dengan universiti pendidikan untuk membantu dalam meningkatkan pengetahuan dan keterampilan guru Bahasa Melayu dalam berhadapan dengan para pelajar.\nSatu lagi solusi yang boleh diambil ialah melantik atau mengundang pengajar pelawat yang dipersetujui dalam suatu jangka masa yang ditetapkan untuk berkongsi idea baharu bagi melihat kekuatan dan kelemahan yang perlu dikemaskan selain memberikan\u00a0teknik khusus kepada guru Bahasa Melayu bagi menajamkan lagi kepelbagaian gaya pengajaran dan pembelajaran yang digunakan.\nGuru-guru muda ini sudah semestinya bersemangat kerana mendapat tambahan ilmu dari sudut pandangan lain demi pengembangan kerjaya dan penyampaian yang berkesan. Keberhasilan daripada kehadiran pengajar pelawat ini akan mencambahkan\u00a0pengetahuan sedia ada dan guru-guru dapat mengakses ilmu dari luar \u201ckepompongnya\u201d.\nPihak berwenang juga perlu mengambil tahu punca trend guru Bahasa Melayu yang mengambil keputusan untuk bersara lebih awal. Tidak dinafikan, guru-guru tersebut mempunyai hak untuk berbuat sedemikian, namun pihak berwenang perlu cekap dalam menyelesaikan isu ini dengan melakukan pemantauan yang kerap ke sekolah untuk melihat sendiri permasalahan yang timbul.\nSuatu cadangan lain yang boleh diambil peduli ialah pihak berwenang boleh mengaturkan perpindahan guru Bahasa Melayu ke sekolah lain bagi mengurangkan kepincangan pengagihan guru-guru terutamanya sekolah yang kekurangan guru mata pelajaran Bahasa Melayu.\nTimbal balik ilmu dan pengalaman pengajaran daripada guru-guru tersebut akan dapat dikongsikan dan dapat memantapkan lagi kaedah pengajaran guru di sekolah berkenaan. Namun begitu, perlu juga difikirkan insentif yang sesuai bagi guru Bahasa Melayu, lebih-lebih lagi yang ditempatkan di luar bandar.\nWalau bagaimanapun,\u00a0sekiranya pihak berwenang dan pemegang taruh yang terlibat sudah menyediakan persekitaran yang kondusif dan terbaik buat guru bahasa Melayu, namun jika mereka ingin juga bersara awal maka jari telunjuk tidak sepatutnya hanya ditujukan kepada pihak berwenang sahaja.\nDalam hal ini, tumpuan utama perlu kembali semula kepada prinsip asal pendidik,\u00a0iaitu ingin melahirkan generasi bijak pandai, berintegriti dan mempunyai kualiti insan serta gah dalam melestarikan\u00a0bahasa Melayu.\nSemoga trend ini mendapat jalan penyelesaian terbaik agar negara tidak ketandusan legasi guru Bahasa Melayu sekiranya guru senior mengambil keputusan untuk bersara lebih awal.\n\u00a0\n\u00a0\nProfesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad \u2212 Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, yang juga Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan." "Antara Objek Langsung dengan Objek Tak Langsung\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nObjek ialah kata nama, frasa nama atau klausa komplemen yang menyusuli kata kerja transitif. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\n1a. \u00a0Dia melipat kain.\n1b. \u00a0Dia menolong kawan baiknya.\n1c. \u00a0Saya menyedari bahawa adik saya bersalah.\n(Pelaku + kata kerja ekatransitif + objek langsung/tepat)\n\u00a0\nDalam ayat 1a, kata nama kain\u00a0ialah objek kepada kata kerja transitif melipat. Dalam ayat 1b, frasa nama kawan baiknya\u00a0ialah objek kepada kata kerja transitif menolong. Dalam ayat 1c, klausa komplemen bahawa adik saya bersalah\u00a0ialah objek kepada kata kerja transitif menyedari. Oleh sebab semua objek dalam kelompok ayat 1 merupakan benda, perkara atau orang yang menerima kesan tindakan secara langsung daripada kata transitif yang berkenaan, objek tersebut disebut objek langsung\u00a0(direct objek) atau objek tepat.\nUntuk menentukan objek langsung/tepat pada ayat 1a, kita boleh bertanya soalan Apakah yang dilipatnya? Bagi ayat 1b, kita boleh bertanya soalan Siapakah yang ditolongnya?\u00a0Bagi ayat 1c, kita boleh bertanya soalan Apakah yang disedarinya? \u00a0\nSelain objek langsung atau objek tepat yang dikenakan kesan tindakan secara langsung oleh kata kerja transitif, ada objek tak langsung\u00a0(indirect object) atau objek sipi\u00a0yang merupakan orang atau pihak yang menerima objek langsung/tepat. Hal ini berkaitan dengan kata kerja dwitransitif yang diikuti oleh dua objek, iaitu objek langsung/tepat dan objek tak langsung/sipi. Sila lihat contoh yang berikut:\n2a. \u00a0Dia menghadiahkan buku itu kepada adiknya.\n(pelaku + KK ekatransitif + objek tepat + frasa keterangan)\n\u00a0\n2b. \u00a0Dia menghadiahi adiknya buku itu.\n(pelaku + KK dwitransitif + objek tak langsung/sipi + objek langsung/tepat)\n\u00a0\nDalam ayat 2a, kata kerja ekatransitif menghadiahkan\u00a0diikuti objek langsung/tepat\u00a0buku itu\u00a0dan frasa sendi nama kepada adiknya\u00a0sebagai frasa keterangan. Hal ini dikatakan demikian kerana buku itu\u00a0ialah objek yang berkaitan terus dengan kata kerja menghadiahkan. Dalam ayat 2b pula, kata kerja dwitransitif menghadiahi\u00a0diikuti objek tak langsung/sipi adiknya\u00a0yang merupakan penerima buku\u00a0itu\u00a0dan objek langsung/tepat buku itu. Untuk mengenal objek tak langsung/sipi dalam ayat 2b, kita boleh bertanya soalan, Siapakah yang dihadiahi buku itu?\u00a0atau Kepada siapakah buku itu dihadiahkan? \u00a0\n3a. \u00a0Dia memasak gulai itu untuk ibunya.\n(pelaku + KK ekatransitif + objek tepat + frasa keterangan)\n\u00a0\n3b. \u00a0Dia memasakkan ibunya gulai itu.\n(pelaku + KK dwitransitif + objek tak langsung/sipi + objek langsung/tepat)\n\u00a0\nDalam ayat 3a, kata kerja ekatransitif memasak\u00a0diikuti objek langsung/tepat gulai itu\u00a0dan frasa sendi nama untuk ibunya\u00a0sebagai frasa keterangan. Hal ini dikatakan demikian kerana gulai itu\u00a0ialah objek yang berkaitan terus dengan kata kerja memasak. Dalam ayat 3b pula, kata kerja dwitransitif memasakkan\u00a0diikuti objek tak langsung/sipi ibunya\u00a0yang merupakan pihak yang diberi gulai\u00a0itu\u00a0dan objek langsung/tepat gulai itu. Untuk mengenal objek tak langsung/sipi dalam ayat 3b, kita boleh bertanya soalan Siapakah yang dimasakkan gulai itu? atau Untuk siapakah gulai itu dimasak? \u00a0\nAyat ekatransitif dengan objek langsung/tepat dapat dipasifkan. Sila lihat contoh yang berikut:\n4a. \u00a0Kain dilipat (oleh)nya.\n4b. \u00a0Kawan baiknya ditolong (oleh)nya.\n(objek tepat + KK pasif + ((oleh)) + pelaku)\n\u00a0\n4c. \u00a0Bahawa adik saya bersalah saya sedari.\n(objek tepat + pelaku + KK pasif tanpa awalan di-)\n\u00a0\nDalam kelompok ayat pasif 4, objek langsung/tepat kain, kawan baiknya\u00a0dan bahawa adik saya bersalah\u00a0dikedepankan sebagai subjek terbitan ayat pasif. Dalam hal ini, ayat 4a dan 4b ialah ayat pasif jati dengan imbuhan pasif di-, manakala ayat 4c ialah ayat pasif semu mengikuti hukum aneksi persona.\nAyat dwitransitif boleh juga dipasifkan. Sila lihat contoh yang berikut:\n5a. \u00a0Adiknya dihadiahi buku itu olehnya.\n5b. \u00a0Adik saya dihadiahi buku itu oleh saya.\n\u00a0\n6a. \u00a0Ibunya dimasakkan gulai olehnya.\n6b. \u00a0Ibu saya dimasakkan gulai oleh saya.\n(objek tak langsung/sipi + KK pasif + objek langsung/tepat + oleh + pelaku)\n\u00a0\nDalam kelompok ayat pasif jati 5, objek tak langsung/sipi adiknya\u00a0atau adik\u00a0saya\u00a0dikedepankan sebagai subjek terbitan diikuti oleh kata kerja pasif dihadiahi, kata sendi nama oleh\u00a0dan kata ganti nama diri orang ketiga -nya\u00a0atau kata ganti nama diri orang pertama saya.\u00a0Dalam hal ini, kata ganti nama diri orang pertama saya\u00a0tidak berkaitan dengan hukum aneksi persona kerana kata saya\u00a0mesti berada di hujung ayat. Dalam kelompok ayat pasif jati 6, objek tak langsung/sipi ibunya\u00a0atau ibu\u00a0saya\u00a0dikedepankan sebagai subjek terbitan diikuti oleh kata kerja pasif dimasakkan, kata sendi nama oleh\u00a0dan kata ganti nama diri orang ketiga -nya\u00a0atau kata ganti nama diri orang pertama saya. Dalam hal ini, kata ganti nama diri orang pertama saya\u00a0tidak berkaitan dengan hukum aneksi persona kerana kata saya\u00a0mesti berada di hujung ayat.\nPengabaian hukum aneksi persona untuk kata ganti nama diri orang pertama saya\u00a0dalam ayat pasif dwitransitif dibolehkan kerana hal yang sama juga berlaku pada kata kerja pasif dengan awalan ter-. Sila lihat contoh yang berikut:\n7a. \u00a0Batu yang besar itu dapat saya angkat.\n7b. \u00a0Batu yang besar itu terangkat oleh saya.\n7c. \u00a0*Batu yang besar itu saya terangkat.\n\u00a0\nDalam ayat 7b, hukum aneksi persona terpaksa diabaikan kerana sendi nama oleh\u00a0dan kata ganti nama diri orang pertama saya\u00a0mesti berada di hujung ayat.\nKonsep objek langsung/tepat dan objek tak langsung/sipi merupakan konsep pinjaman daripada bahasa Inggeris. Oleh itu, penggunaan kedua-dua objek itu mirip penggunaannya dalam bahasa Inggeris. Sila lihat contoh\u00a0yang\u00a0berikut:\nObjek langsung/tepat sahaja\n8a. \u00a0Dia melipat kain.\n8b.\u00a0\u00a0She folded the clothes.\n\u00a0\n9a. \u00a0Kain dilipat olehnya.\n9b.\u00a0The clothes were folded by her.\n\u00a0\nObjek langsung/tepat + Objek tak langsung/sipi\n10a. \u00a0Dia memberi adiknya buku.\n10b. \u00a0She gave her sister a book.\n\u00a0\n11a. \u00a0Adiknya diberi buku olehnya.\n11b.\u00a0\u00a0Her sister was given a book by her." "Ekspresi Seni Lukis Aksi dan Fantasi Ngdawiyah Ismail\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSepanjang dua dasawarsa ini, minat masyarakat terhadap seni lukis semakin bertambah dari tahun ke tahun. Hal ini dapat dilihat dengan kewujudan para pelukis yang hebat di negara ini dalam pelbagai jenis dan aliran lukisan, seperti surealisme, impresionisme dan kubisme, yang setanding dengan pelukis antarabangsa. Pelbagai pengiktirafan telah diberikan oleh pihak luar terhadap para pelukis tempatan dengan kemahiran dan bakat yang ditampilkan, seperti anugerah seni, pameran antarabangsa, dan sebagainya.\nWalaupun begitu, rata-rata masyarakat mungkin tidak mengetahui kewujudan \u201cpelukis aksi\u201d di Malaysia. Lukisan aksi, atau lebih dikenali sebagai gesture painting, merupakan satu daripada genre lukisan yang terkenal di dunia dengan gaya sapuan cat secara spontan ke kanvas, bukannya diaplikasikan secara berhati-hati, untuk mendapatkan kesan titisan dan percikan yang menarik. Di Malaysia, tidak banyak pelukis yang menjadikan gaya lukisan aksi sebagai identiti dalam berkarya, namun bagi Ngdawiyah Ismail, gaya ini memberikan kebahagiaan dan kebebasan terhadap jiwa seninya.\nPertama kali melihat video Ngdawiyah melukis di Facebook, penulis yakin bahawa beliau ini bukanlah calang-calang pelukis. Masakan tidak, aksi Ngdawiyah melukis sambil menari mengikut rentak muzik yang dimainkan sungguh menakjubkan dan memukau mata para penonton yang melihatnya. Lantaran itu, sidang editorial Dewan Budaya membuat keputusan untuk ke Kelantan dengan satu matlamat, iaitu untuk mengenali dengan lebih dekat karyanya dan melihat dengan mata sendiri kehebatan melukis susuk tubuh yang berasal dari Grik, Perak ini.\nNgdawiyah, atau lebih mesra disapa sebagai Gee, memulakan perjalanan seni dengan melukis dan menjual lukisan potret seawal usia 15 tahun. Sejak zaman persekolahan, beliau banyak menghabiskan masa untuk melukis. Yang menariknya, beliau pada ketika itu menuntut di Sekolah Menengah Teknik Lebuh Cator, Ipoh, atau kini dikenali sebagai Kolej Vokasional Lebuh Cator, tidak pernah mengikuti pendidikan secara formal dalam bidang seni lukis dan hanya dijadikan sebagai hobi.\nKejayaan Ngdawiyah memenangi Hadiah Melukis Potret Peringkat Sekolah Negeri Perak pada tahun 1990 menjadi titik tolak kepada beliau untuk bergiat secara aktif dalam bidang seni lukis. Beliau yang pernah dianugerahkan sebagai pelajar terbaik bagi sekolah vokasional pada tahun 1992 menyatakan bahawa penghijrahan beliau daripada bidang elektronik kepada bidang seni merupakan suatu keputusan yang tepat dalam hidupnya.\nDalam penghasilan setiap karyanya, Ngdawiyah sentiasa mempunyai idea atau lakaran dalam mindanya untuk melahirkan perasaan melalui limpahan warna. Bakat seni lukis dalam dirinya diwarisi daripada ibunya. Bahkan, melalui ibunya juga, Ngdawiyah belajar beberapa teknik lukisan. Menurut beliau, antara idola dalam bidang seni lukis termasuklah Leonardo Da Vinci kerana kegeniusan pelukis itu mencipta penceritaan dalam karya lukisannya. Bagi beliau, lukisan yang baik ialah lukisan yang mampu untuk bercerita kepada khalayak.\nMenceritakan pengalaman hidupnya, wanita kental berusia 46 tahun ini menyatakan bahawa pernah bekerja sebagai penebar roti canai dan penjual burger untuk kelangsungan hidup. Pengalaman tersebut mengajarnya erti kecekalan dan mahu mengekspresikan kehidupannya melalui lukisan. Sebelum bergiat secara aktif dalam bidang seni lukisan, Ngdawiyah juga pernah bekerja sebagai pereka grafik bebas dan aktif menghasilkan rekaan grafik, khususnya penerbitan buku.\nPengalaman menjadi pereka grafik bebas banyak membantu dan memberikan kesan terhadap penglibatan beliau dalam bidang seni lukisan kerana perlu bermain dengan imaginasi yang mampu difahami oleh para pembaca. Dalam hal ini, beliau pernah memenangi anugerah buku grafik terbaik berdasarkan lakaran yang dihasilkan dengan gabungan warna dan subjek yang berkaitan rapat dengan pengalaman hidupnya.\nSidang editorial Dewan Budaya tiba di satu rumah yang terletak di Kubang Batang, Pasir Mas, dengan berpandukan lokasi yang dihantar melalui aplikasi Whatsapp oleh Siti Zuraida Awang, AJK Pemasaran Persatuan Seniman dan Warisan Kelantan dan juga rakan karib Ngdawiyah. Melihat bentuk luaran rumah banglo itu, tiada apa-apa yang membezakannya dengan deretan rumah di kawasan itu, selain dipenuhi dengan rimbunan pohon yang menghijau.\nSebaik sahaja melangkah masuk ke ruang tamu rumah itu, kami terpegun melihat lukisan seakan-akan \u201chidup\u201d yang memenuhi setiap inci dinding, lantai dan siling rumah itu. Lukisan ala-ala tujuh dimensi itu memaparkan watak daripada sebuah buku yang berjudul Hikayat Kota Dewa hasil tulisan Faran Yusof. Yang menariknya, lukisan tersebut dihasilkan oleh Ngdawiyah seorang diri sejak tahun 2018, bermula dari ruang dapur dan kini hampir siap sepenuhnya hingga ruang tamu.\nMenurut Siti Zuraida, yang juga merupakan pemilik rumah tersebut, idea asal menjadikan rumahnya sebagai muzium bermula apabila Ngdawiyah datang ke rumah ini untuk melukis di satu ruangan sebagai hadiah kepadanya. Beliau yang amat meminati seni lukisan memberikan kepercayaan kepada Ngdawiyah untuk \u201cmenghias\u201d rumah tersebut dengan hasil tangan sahabat karibnya itu. Bagi Siti Zuraida, keperibadian Ngdawiyah yang jujur dalam setiap perbuatan dan pengkaryaannya membuatkan beliau yakin untuk membenarkan rumahnya dijadikan muzium.\nDalam diri saya ini penuh dengan sifat kasih sayang. Apabila saya melihat Ngdawiyah melukis watak Hikayat Kota Dewa ini, naluri saya mengatakan bahawa lukisan ini dapatkan menenangkan perasaan saya. Daripada situlah timbulnya idea untuk menjadikan rumah ini sebagai muzium tujuh dimensi berdasarkan watak dalam hikayat tersebut. \u2013 Siti Zuraida\nSejak itu, Ngdawiyah dan Siti Zuraida telah bekerjasama dengan penulis hikayat tersebut untuk menjayakan projek muzium tujuh dimensi yang pertama di Malaysia. Pada awalnya, lukisan tersebut hanyalah dilukis di satu sudut di bahagian dapur yang mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan. Dengan sokongan ahli keluarga Siti Zuraida dan penat lelah Ngdawiyah melukis sehingga pernah tidak tidur selama dua hari, kini rumah ini dijangka siap sepenuh sebagai muzium menjelang penghujung tahun ini.\nCabaran utama projek ini ialah untuk menghasilkan 313 watak hikayat dalam bentuk lukisan. Sepanjang proses tersebut, Ngdawiyah perlu membaca dan memahami lebih dahulu jalan penceritaan novel tersebut. Selepas itu, beliau menghasilkan sinopsis inti pati ringkas setiap bab dalam novel tersebut dan mula melakar setiap watak satu demi satu. Selepas selesai proses lakaran itu, beliau \u00a0menyusun semula lakaran tersebut mengikut alur penceritaan sebelum dipindahkan dalam bentuk lukisan.\nProses penghasilan setiap watak dalam novel tersebut turut mempunyai cabarannya yang tersendiri. Sebagai contohnya, penulis novel tersebut memberikan cabaran kepada Ngdawiyah untuk menghasilkan watak Tok Jubah, iaitu satu watak yang sangat menakutkan, menggunakan subjek sehelai rambut. Dalam hal ini, Ngdawiyah perlu menggunakan daya imaginasinya untuk mencipta dan menggambarkan watak Tok Jubah itu berdasarkan ciri-ciri yang ditulis dalam novel dan gambaran yang diberikan oleh Faran Yusof. Maka itu, beliau mencipta watak lakaran Tok Jubah dengan tidak menampakkan mukanya dan hanya memaparkan rambut. Antara watak terawal yang dicipta oleh beliau termasuklah watak Tok Jubah dan Nagasari.\nPenghasilan lakaran setiap watak bermula dengan watak yang mudah lebih dahulu. Faran Yusof memberikan gambaran tentang watak itu kepada Ngdawiyah sebelum beliau menterjemahkannya dalam bentuk lukisan. Bagi beliau, watak yang dilakarkan perlu lain daripada lain dan tiada pengaruh luar, seperti watak novel Harry Potter, bahkan lebih hebat berbanding lakaran watak novel fantasi Barat itu. Hasil lakaran watak tersebut akan dilukis di setiap penjuru rumah ini sebagai bahan bukti dan rujukan orang ramai, seakan-akan seperti sedang membaca Hikayat Kota Dewa apabila melihat lukisan yang dihasilkan dalam rumah ini.\nProses penghasilan watak tersebut mempunyai dua fasa, iaitu proses lakaran dalam kertas dan seterusnya menggunakan perisian Adobe Photoshop. Proses ini memerlukan kemahiran melukis dan kebolehan menggunakan perisian grafik dengan baik bagi membolehkan watak tersebut dihasilkan dengan cantik. Beliau berasa bersyukur kerana berpeluang mempelajari kemahiran perisian grafik ketika bekerja sebagai pereka grafik. Hal ini sangat penting pada era ini untuk tujuan pendokumentasian dan juga menyesuaikan diri dengan seni grafik digital.\nTambah Ngdawiyah, pengetahuannya dalam bidang elektrik pada zaman persekolahan dapat diaplikasikan dalam projek muzium tujuh dimensi ini. Hal ini dikatakan demikian kerana untuk menghasilkan kesan yang membuatkan lukisan itu kelihatan seperti \u201chidup\u201d, beliau perlu memasang beberapa peralatan elektronik, seperti lampu dan pancaran cahaya, untuk digabungkan dengan lukisan yang dihasilkan. Projek ini sememangnya memberikan kepuasan kepada dirinya kerana dapat menggabungkan seni lukis dengan kemahiran bertukang dan elektronik yang dipelajarinya di sekolah.\nSatu daripada keistimewaan Ngdawiyah dalam bidang seni lukis ini ialah teknik \u201clukisan aksi\u201d, iaitu melukis sambil mengikut rentak muzik. Beliau gemar menggunakan muzik dalam setiap karya yang dihasilkan kerana membantu memberikan ekspresi tanpa sedar yang lebih baik ketika melukis. Maka itu, setiap lukisan yang dihasilkan dalam rumah ini turut menggunakan gaya lukisan \u201caksi\u201d. Yang menariknya, setiap lagu yang dimainkan perlu selaras dengan watak atau keadaan yang ingin dilukis. Jika lukisan itu memerlukan \u201csuasana\u201d meriah atau watak ceria, maka lagu rancak akan dimainkan, dan begitu juga sebaliknya.\nDalam hal ini, Ngdawiyah menyatakan bahawa beliau sangat teruja ketika melukis lukisan aksi, dan menjadikannya sebagai fokus utama dalam pengkaryaan dan identiti dirinya. Bagi dirinya, tidak semua orang menyukai bidang seni lukis, tetapi jika digabungkan dengan muzik, pastinya dapat menarik perhatian mereka kerana semua orang menyukai muzik. Bahkan, melukis dan mendengar muzik merupakan satu daripada terapi yang berkesan bagi mereka yang mengalami tekanan atau keletihan.\nDisebabkan oleh keunikan gaya lukisannya, Ngdawiyah sering menerima undangan untuk membuat persembahan dalam pelbagai majlis di sekitar negeri Perak. Pada kebiasaannya, persembahan dalam gimik perasmian mengambil masa kira-kira tujuh minit dengan menggunakan lagu genre epik atau lagu yang bersesuaian dengan tema majlis tersebut. Persembahan gimik perasmian yang paling diingati pernah dilakukan oleh Ngdawiyah ialah ketika melukis lukisan aksi di panggung wayang TGV Kuala Lumpur yang dihadiri oleh pengarah terkenal, Dato Yusoff Haslam dan delegasi dari China.\nBeliau pernah bekerjasama dengan kerajaan negeri Perak dalam satu projek lukisan \u201cWorld of Bunder Asia Painting Show Music Perak\u201d. Antara usaha beliau untuk mempromosikan lukisan aksi ialah memuat naik video penghasilan lukisan aksi ke platform YouTube. yang memiliki pengaruh yang sangat besar pada peringkat global. Selain itu, Ngdawiyah juga membuat siaran langsung melukis lukisan watak Hikayat Kota Dewa di Facebook dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat.\nSepanjang penglibatan Ngdawiyah dalam dunia seni lukis ini, beliau menjadikan seni sebagai wadah untuk merapatkan hubungan sesama manusia. Bagi beliau, seni itu penuh dengan nilai kasih sayang, dan semua orang, tanpa mengira umur, pangkat dan darjat, berhak menikmati nilai yang terdapat pada seni. Pada kebiasaannya, beliau tidak menetapkan kadar bayaran yang tidak munasabah bagi setiap karya lukisannya kerana baginya, jalinan hubungan baik lebih penting berbanding wang ringgit.\nPerjalanan karier Ngdawiyah sebagai pelukis bermula dengan lukisan realistik, potret, abstrak, dan kemudiannya terjun ke dalam lukisan aksi fantasi. Beliau menyatakan bahawa gabungan ciri-ciri lukisan realistik dan abstrak berjaya menghasilkan lukisan fantasi yang menarik. Tambahnya lagi, beliau turut menggabungkan gaya lukisan lama, seperti zaman Renaissance, dengan gaya warna moden untuk menghasilkan lukisan fantasi. Gabungan warna gaya lukisan lama dengan lukisan fantasi moden ini menghasilkan warna purba fantasi dengan gaya lukisan aksi.\nSelain menghasilkan karya untuk dijual atau dipamerkan, Ngdawiyah turut terbuka untuk menerima undangan mengajar masyarakat awam tentang seni lukis, terutamanya lukisan aksi. Pada kebiasaannya, beliau akan mengajarkan teknik lukisan aksi kerana teknik ini tidak banyak dipraktikkan oleh pelukis tempatan. Beliau turut mempunyai kumpulan lukisan aksi tersendiri di Perak, iaitu Ngdawiyah Gesture Drawing Team. Setiap undangan yang diterima, tiada yuran atau bayaran yang akan dikenakan untuk mempelajari teknik lukisan daripada beliau. Tiada juga had umur dan bangsa yang ditetapkan oleh beliau untuk mempelajari teknik lukisan ini.\n\u201cKelas pengajaran lukisan ini dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia kerana mereka bersama-sama mengambil bahagian dalam kelas lukisan yang dianjurkan. Dalam hal ini, saya suka memberikan keyakinan kepada masyarakat untuk melukis atau melakukan apa-apa sahaja dalam kehidupan, asalkan memiliki keyakinan diri,\u201d ujar Ngdawiyah ketika ditemu ramah oleh sidang editorial Dewan Budaya.\nDalam hal ini, tujuan utama Ngdawiyah untuk mengajar teknik lukisan \u201cgesture\u201d atau aksi kepada masyarakat kerana apabila berjaya menguasai teknik tersebut, maka mereka mudah untuk melukis pelbagai genre lukisan yang lain, seperti potret, abstrak dan sebagainya. Untuk menjadi pelukis yang berjaya, seseorang itu harus menguasai teknik lukisan aksi kerana teknik itu merupakan teknik asas dalam lukisan. Teknik aksi ini juga dapat memupuk keyakinan diri seseorang dan juga menjadi terapi minda.\nSecara umumnya, teknik lukisan aksi ini lebih tepat berbanding lakaran. Kemahiran terpenting yang perlu dikuasai oleh pelukis untuk mahir dalam teknik ini ialah kemahiran bermain dengan garisan. Melalui teknik lukisan aksi, khalayak dapat melihat cerminan emosi pelukis berdasarkan kepada garisan yang terdapat pada lukisan tersebut kerana teknik ini memerlukan pelukisnya memasukkan emosi dalam lukisan. Lukisan yang menggunakan teknik ini dikatakan jujur kerana merupakan luahan perasaan pelukis. Teknik lukisan ini sewajarnya diajarkan kepada para pelajar sejak sekolah rendah bagi mengetahui cara mengekspresikan diri dan nilai yang terdapat dalam seni lukisan aksi ini.\nKini, beliau merancang untuk membuat kombinasi antara persembahan muzik tradisional yang diadakan secara langsung dengan demonstrasi lukisan aksi untuk menarik perhatian lebih banyak orang. Tambahnya lagi, kombinasi tersebut sangat unik kerana tidak pernah diadakan sebelum ini di negara ini. Dalam setiap aksi melukisnya, Ngdawiyah tidak mengehadkan pilihan genre muzik dan memainkan setiap genre muzik berdasarkan perasaan yang ingin disampaikan dalam lukisan.\nApabila menceritakan tentang perkembangan seni lukis tanah air, Ngdawiyah berpandangan bahawa seni itu tidak akan mati, tetapi hanya zaman yang membezakannya. Dalam hal ini, golongan muda kini dilihat lebih menonjol dalam bidang seni kerana perkembangan teknologi masa kini. Seni pada zaman ini lebih banyak dihasilkan secara digital menggunakan komputer, berbanding di atas kanvas atau kertas. Bagi beliau, satu cara terbaik untuk mendapatkan hasil seni yang optimum pada masa ini ialah menggabungkan kedua-dua kaedah era dahulu dan kini.\n\u201cKedua-dua generasi, iaitu generasi lama dan baharu, harus saling bekerjasama dan belajar antara satu sama dengan yang lain untuk membaiki dan meningkatkan kemahiran mereka, tidak kira dalam bidang apa-apa sekali pun. Perkembangan teknologi maklumat era moden banyak memberikan kelebihan kepada generasi muda kerana mereka lebih terdedah kepada limpahan maklumat daripada internet. Mereka dapat mempelajari sesuatu perkara dengan lebih pantas dan banyak berbanding dengan generasi terdahulu,\u201d kata Ngdawiyah.\nTerkenal sebagai seorang pelukis potret dan abstrak, Ngdawiyah mengakui bahawa beliau tidak pernah terfikir untuk melukis lukisan fantasi purba. Peluang untuk menghasilkan lukisan fantasi purba berdasarkan watak Hikayat Kota Dewa memberikan nafas baharu bagi dirinya dan berjaya menarik minat masyarakat untuk melihatnya. Menurut beliau, waktu yang sesuai untuk melukis lukisan fantasi ialah pada waktu malam.\n\u201cCuaca memainkan peranan dalam penghasilan warna ketika proses melukis. Apabila melukis pada waktu siang, kita cenderung untuk mengambil warna yang berunsur panas kerana pengaruh cuaca. Lukisan fantasi sesuai dilukis pada waktu malam kerana suasana pada ketika itu sejuk dengan cahaya yang suram. Apabila melukis pada cahaya yang suram, kita terdorong untuk menggunakan warna yang suram, tetapi terang. Hal ini merupakan tip untuk menghasilkan lukisan yang mempunyai warna yang sesuai dan cantik,\u201d katanya.\nSecara puratanya, modal yang diperlukan untuk menyiapkan muzium tujuh dimensi ini mencecah RM45 ribu secara keseluruhan. Kos pembelian cat sahaja hampir mencecah RM15 ribu memandangkan cat yang digunakan diimport dari luar negara bagi menjaga kualiti. Proses menyiapkan muzium ini sememangnya memakan masa yang panjang kerana di samping melukis, Ngdawiyah perlu mencipta konsep, menyusun turutan babak berdasarkan novel tersebut untuk diterjemahkan dalam bentuk lukisan dan mencipta tarikan baharu untuk menarik perhatian khalayak. Usaha untuk menyiapkan muzium tersebut turut dibantu oleh ahli keluarga Siti Zuraida dan penduduk setempat. Hal ini jelas membuktikan bahawa seni berupaya merapatkan hubungan sesama manusia.\nPengalaman melawati muzium tujuh dimensi ini sudah tentunya berbeza berbanding melawat muzium lain yang terdapat di negara ini. Pelawat akan merasai pengalaman baharu menikmati lukisan menggunakan setiap pancaindera. Dalam hal ini, Ngdawiyah perlu mencipta bahan paparan yang sesuai dengan latar yang terdapat dalam novel tersebut bagi memaksimumkan penggunaan pancaindera pelawat. Pengalaman beliau ketika menetap di Eropah selama dua bulan digunakan untuk mencipta konsep muzium tujuh dimensi ini. Muzium di Eropah misalnya, konsep penceritaan narator secara maya digunakan untuk menyampaikan maklumat kepada pelawat. Ngdawiyah mahu menggunakan konsep itu dalam muzium tersebut untuk menarik perhatian masyarakat.\nPada akhir pertemuan kami, Ngdawiyah menyatakan hasratnya untuk mewujudkan satu galeri kesenian di tempat kelahirannya iaitu di Perak. Galeri itu bukan sekadar galeri biasa, tetapi menjadi pusat sehenti kesenian dengan mengalu-alukan kedatangan masyarakat untuk berkarya di situ. Galeri itu juga dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat, khususnya golongan muda untuk berjaya dalam bidang kesenian, dan menjadi satu daripada tarikan pelancongan dalam negara. Bagi Ngdawiyah, bakat yang dikurniakan dan pengalaman yang diperoleh sepanjang perjalanan bergelar insan seni tidak akan disia-siakan dengan mengembalikannya kembali untuk kegunaan masyarakat." "Kisah di Sebalik Khazanah Blok Batik Terengganu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBatik Terengganu amat terkenal dalam kalangan masyarakat tempatan dan pelancong asing kerana kaya dengan nilai estetika dan halus pembuatannya. Selain itu, kain batik Terengganu juga dikenali dengan sifat kainnya yang sejuk dan selesa dipakai oleh pengguna. Keunikan corak yang dihasilkan pada batik Terengganu membuatkan banyak hati terpesona dengan keindahannya dan menjadi sebutan masyarakat tempatan dan pelancong luar negara. Di sebalik kehalusan seni pembuatannya sudah pasti ada kudrat dan semangat yang tidak pernah mengalah yang mengharungi kesukaran mencipta dan mengusahakan corak batik Terengganu yang merupakan lambang warisan tradisional negeri ini.\nProses penghasilan blok dan corak batik tidaklah semudah seperti yang disangkakan oleh masyarakat. Proses tersebut memerlukan fokus dan ketekunan yang tinggi bagi menyiapkan sarang blok tersebut. Walau bagaimanapun, kini, pembuat sarang blok batik Terengganu kian pupus kerana kurangnya pendedahan terhadap generasi muda untuk mempelajari dan mewarisi kemahiran pembuatan sarang blok batik. Hal ini dikatakan demikian kerana generasi muda kini lebih cenderung untuk bekerja di pejabat atau bekerja dalam sektor ekonomi, sehingga menyumbang kepada kepupusan pembuat sarang blok batik di Terengganu.\nZakaria Ismail, 62 tahun, atau lebih selesa dikenali sebagai Pak Ya, sememangnya sudah tidak asing lagi dalam dunia penghasilan batik tanah air. Beliau merupakan satu-satunya pakar pembuat blok batik di Terengganu yang masih aktif hingga kini. Menurut Pak Ya ketika ditemui di rumahnya yang terletak di Kampung Ladang, Kuala Terengganu, proses mengecop batik tidaklah sukar, tetapi untuk membentuk corak di blok dan cara menggunakan blok merupakan cabaran utama dalam pembuatan batik. Jika tidak menguasai kemahiran asas tersebut, maka sukar untuk menghasilkan batik yang berkualiti. Bagi dirinya, proses pembuatan dan penjagaan blok dan cop batik lebih sukar daripada menjaga anak kecil, tetapi jika seseorang itu sudah menguasai kemahiran tersebut, maka proses pembuatannya menjadi mudah.\nSebagai seorang tenaga pengajar blok batik, beliau tidak keberatan untuk memberikan tunjuk ajar kepada generasi muda untuk mempelajari kesenian pembuatan blok. Pak Ya sentiasa terbuka dan tidak pernah memilih bulu untuk belajar dengannya. Hingga kini, beliau mempunyai para pelajar berbilang bangsa, seperti Melayu, Cina, India, malahan pelancong asing juga belajar kemahiran pembuatan blok batik dengan Pak Ya.\nSecara umumnya, pembuatan batik di Terengganu mempunyai pelbagai jenis, antaranya termasuklah batik canting dan batik blok. Dalam hal ini, proses pembuatan batik blok mengambil masa yang lama berbanding jenis batik yang lain kerana memerlukan kemahiran untuk menghasilkan blok. Pada kebiasaannya, pereka akan memberikan rekaan corak kepada Pak Ya untuk menghasilkan sarang blok batik. Pak Ya akan menyesuaikan rekaan asal dengan penghasilan sarang blok yang ingin digunakan ketika proses mengecop. Proses penghasilan sarang blok ini bergantung kepada kesukaran bentuk motif yang diminta oleh pelanggan. Pada kebiasaannya, Pak Ya mengambil masa selama empat hingga lima hari untuk menyiapkan satu bentuk motif sarang blok.\nProses penghasilan sarang blok batik melibatkan bahan seperti tembaga, playar, gunting dan pisau. Proses penghasilan sarang blok itu dilakukan dengan mencantumkan corak satu per satu ke dalam sarang blok tersebut. Teknik ini merupakan cara tradisional dengan menggunakan kemahiran tangan. Pak Ya telah berkecimpung dalam dunia pembuatan sarang blok batik Terengganu ini semenjak dari kecil lagi. Ketika berusia 11 tahun, beliau telah mempelajari asas pembuatan sarang blok batik di kampungnya iaitu Kampung Ladang.\nPada zaman dahulu, industri batik di Kampung Ladang sangat besar kerana kebanyakan penduduknya menghasilkan batik. Pak Ya menyatakan bahawa dia pernah mempunyai bengkel yang besar di sana ketika mengusahakan perusahaan batik. Bengkel beliau banyak dikunjungi oleh pelancong asing untuk mempelajari teknik mengecop batik. Maka itu, tidak hairanlah beliau tidak begitu dikenali di Malaysia, tetapi terkenal di luar negara seperti di United Kingdom dan Amerika Syarikat.\nMenurut Pak Ya, beliau mula mempelajari kemahiran pembuatan blok batik kerana tertarik apabila melihat kemahiran jirannya mengecop batik di kampungnya. Pada usia 18 tahun, atas dorongan bapa saudaranya, Pak Ya memberanikan diri untuk menceburi bidang ini dengan lebih mendalam dengan berhijrah ke Indonesia bagi memantapkan kemahiran dan ilmu batiknya tajaan Majlis Amanah Rakyat.\nKetika di Indonesia, Pak Ya bukan sahaja mendalami ilmu pembuatan sarang blok batik, bahkan beliau juga mempelajari selok-belok pembuatan batik tempatan. Setelah enam tahun berkelana di negara orang, ketika berumur 24 tahun, Pak Ya pulang ke tanah air dan membuat batik dengan menggunakan teknik yang dipelajarinya ketika belajar di Indonesia. Pembuatan batik Malaysia dan Indonesia masing-masing mempunyai gaya dan keunikan yang tersendiri.\nKini, selain menerima pesanan rekaan blok batik, Pak Ya turut banyak menerima undangan untuk memberikan tunjuk ajar kepada para pelajar tempatan. Dalam setiap sesi pengajaran, Pak Ya menegaskan bahawa seseorang itu harus lebih dahulu menguasai kemahiran asas pembuatan blo batik, seperti membentuk corak dan memateri, sebelum mereka dapat menghasilkan sarang blok yang mempunyai rekaan yang kompleks dan kemas. Para pembuat blok batik seharusnya menguasai kemahiran kraf menggunakan tangan dan pengurusan barangan tembaga.\nDalam hal ini, kunci utama untuk menguasai kemahiran membentuk dan membuat sarang blok batik ialah kegigihan, fokus dan komitmen yang tinggi. Jika seseorang itu tidak mempunyai nilai-nilai tersebut, maka sukar untuk menguasai kemahiran tersebut. Menurut Pak Ya, proses penghasilan batik moden masa ini semakin mudah dan tidak sama seperti masa dahulu. Batik tradisional memiliki empat atau lima lapisan kain, manakala batik moden pula hanya mempunyai selapis atau dua lapis sahaja. Maka itu, tidak hairanlah batik tradisional lebih mahal harganya disebabkan oleh nilai keseniannya yang tinggi. Oleh sebab itu, Pak Ya menyeru kepada generasi muda untuk mempelajari kemahiran membuat dan membentuk sarang blok batik kerana batik Terengganu memiliki permintaan yang tinggi dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.\nSetiap pembuatan batik mempunyai identitinya yang tersendiri bergantung kepada lokasi dan budaya masyarakat setempat. Menurut Pak Ya, ketika berusia 16 tahun, beliau tertanya-tanya tentang identiti batik. Apabila gurunya menunjukkan salah satu rekaan blok batik kepadanya, batik tersebut mempunyai motif sayap seakan-akan burung garuda dan banyak digunakan pada batik Terengganu. Pengusaha batik Terengganu pada masa itu banyak mengambil batik Jawa sebagai inspirasi untuk menghasilkan corak batik Terengganu. Motif rekaan batik Terengganu hampir 80 peratus mirip kepada motif rekaan batik Indonesia.\nMotif corak rekaan batik Kelantan pula banyak menonjolkan imej pagoda. Hal ini dikatakan demikian kerana motif rekaan batik Kelantan terpengaruh dengan unsur dari Thailand. Thailand juga mempunyai rekaan batiknya yang tersendiri. Pak Ya menyatakan bahawa pada zaman dahulu masyarakat menggunakan blok kayu untuk mengecop batik. Motif asal rekaan batik Terengganu lebih terarah pada bunga-bungaan. Walau bagaimanapun, ada juga batik Terengganu menggunakan motif haiwan seperti gajah yang dikatakan memiliki pengaruh dari India.\nWalau bagaimanapun, kebanyakan pengusaha batik kini lebih gemar untuk mengecop batik di luar, seperti di Indonesia, kerana kos di sana jauh lebih murah berbanding di Malaysia. Keadaan tersebut menyebabkan perniagaan batik asli Terengganu merudum kerana harga yang ditawarkan oleh pesaing jauh lebih rendah. Hal ini menyebabkan banyak pengusaha batik Terengganu terpaksa menutup operasi atau beralih arah modul perniagaan yang lebih menguntungkan. Disebabkan oleh kurangnya pendedahan tentang batik, banyak pembeli tertipu dengan menyangkakan batik yang dibelinya adalah asli dari Terengganu.\nDengan pengalaman lebih hampir 50 tahun dalam dunia batik ini, Pak Ya dapat mengenali jenis batik dengan hanya melihatnya sahaja. Menurut beliau, terdapat perbezaan ketara antara batik yang menggunakan teknik asli, seperti cop blok atau canting, dengan batik yang menggunakan teknik \u201ccetak\u201d. Batik yang menggunakan teknik \u201ccetak\u201d hanya nampak cantik apabila dilihat di bahagian hadapan dan corak batik menjadi kabur apabila dilihat dari belakang. Hal ini dikatakan demikian kerana teknik \u201ccetak\u201d hanya mencetak rekaan corak di hadapan batik. Batik yang menggunakan teknik cop blok pula kelihatan lebih menonjol pada motif kerana coraknya melekat dengan kemas.\nBaru-baru ini, Pak Ya menerima satu tempahan untuk menghasilkan sarang blok batik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Bagi beliau, tempahan tersebut merupakan lain daripada yang lain kerana pihak UMT meminta beliau menghasilkan blok batik yang mempunyai bentuk motif penyu. Hal ini merupakan projek terbaharu UMT untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap pemeliharan kehidupan laut, khususnya penyu, melalui penghasilan batik bermotifkan penyu. Menurut Pak Ya, motif penyu dalam pembuatan batik amat sesuai dengan imej UMT sebagai sebuah universiti yang menjalankan kajian tentang kehidupan laut dan juga sebagai simbol negeri Terengganu.\n\u201cHingga kini, motif penyu dalam pembuatan batik belum lagi dikomersialkan dalam pasaran dan amat sesuai digunakan pada baju. Saya berasakan bahawa idea ini sangat baik dan berupaya menarik minat masyarakat terhadap batik, seterusnya dapat mengembangkan lagi produk batik kepada umum,\u201d ujar Pak Ya.\nDalam setiap tempahan blok batik yang diterima, Pak Ya tidak pernah mengenakan cas yang melampau kerana batik merupakan khazanah warisan milik masyarakat Malaysia. Tidak hairanlah Pak Ya amat disenangi oleh para pengusaha batik dan juga komuniti setempat.\u00a0 Bahkan, setiap sarang blok batik yang dihasilkan oleh Pak Ya mempunyai ketahanan yang lama dan dapat digunakan berulang-ulang kali jika dijaga dengan cara yang betul.\nMenurut Pak Ya, sarang blok batik menjadi rosak sekiranya tidak dicuci dengan betul dan tidak dapat digunakan dalam tempoh yang lama. Pak Ya sangat mengambil berat terhadap setiap blok batik yang dihasilkannya. Hal ini disebabkan oleh kos pembuatan sarang blok batik semakin meningkat kerana harga bahan mentah seperti timah dan tembaga semakin mahal. Oleh hal yang demikian, Pak Ya sering memberikan nasihat penjagaan blok kepada para pengusaha batik agar dapat digunakan dalam tempoh yang lama. Bahkan, disebabkan perusahaan batik berasaskan blok semakin berkurangan kerana batik canting semakin popular sejak belakangan ini, turut memberikan kesan terhadap kos pembuatan blok dan nilai pasaran batik blok. Masyarakat kini lebih cenderung untuk membeli batik harga yang lebih murah kerana faktor ekonomi semasa.\nTidak dapat dinafikan bahawa industri batik, khususnya di Terengganu, sememangnya semakin rancak dan mendapat permintaan yang tinggi pada masa ini. Walau bagaimanapun, industri ini berhadapan dengan masalah kekurangan tenaga mahir. Hal ini disebabkan oleh generasi muda kini tidak mahu mewarisi dan menceburi diri dalam bidang perusahaan batik. Generasi kini lebih cenderung untuk bekerja dalam sektor pekerjaan yang lebih selesa dan lumayan.\nWalaupun begitu, Pak Ya tetap terus menghasilkan sarang blok batik selagi hayat dikandung badan kerana minatnya yang sangat mendalam dalam dunia pembuatan batik ini. Pak Ya bersyukur kepada Tuhan kepada dia masih dianugerahkan kesihatan yang baik untuk meneruskan penghasilan sarang blok batik. Harapan beliau agar dapat mewariskan kemahiran pembuatan blok batik kepada generasi muda agar khazanah warisan tersebut tidak pupus ditelan zaman, memandangkan kini hanya beliau seorang sahaja yang berkemahiran menghasilkan sarang blok batik di Terengganu." "Usaha Pendigitalan Sastera Rakyat dan Bahasa Peribumi Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDewan Bahasa dan Pustaka Cawangan (DBP) Sarawak telah menganjurkan Seminar Kearifan Tempatan Sarawak yang telah diadakan pada 16 Mac 2021 bertempat di Balai Budaya DBP Cawangan Sarawak.\u00a0 Seminar yang diadakan pada kali ini bertemakan \u201cKe Arah Pendigitalan Produk Sastera Rakyat dan Bahasa Peribumi\u201d.\nSeminar yang dijalankan ini bertujuan untuk menghimpunkan para sarjana, pengkaji, karyawan dan ahli bahasa dalam merangka strategi tentang pelestarian dan pendokumentasian bahasa dan sastera yang terdapat di Bumi Kenyalang. DBP Cawangan Sarawak turut berharap agar usaha seperti ini dapat menggalakkan pengkajian tentang sastera dan bahasa peribumi.\n\nDalam ucapan perasmian Encik Abang Haliman Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, berharap agar Seminar Kearifan Tempatan Sarawak yang sebelum ini dikenali sebagai Seminar Sastera Rakyat dan bahasa Ibunda akan menjadi wadah yang sesuai untuk para penyelidik di Sarawak agar dapat berkongsi kajian dan penemuan dalam penyelidikan yang dijalankan terutamanya dalam mengangkat karya seperti kumpulan cerita rakyat, daftar kata, kamus bahasa peribumi dan lain-lain yang dirasakan perlu untuk dimanfaatkan bersama.\nPada majlis berkenaan, Pengarah DBP Cawangan Sarawak turut melancarkan 11 program yang dijalankan oleh Unit Pembinaan dan Penyelidikan DBP Cawangan Sarawak yang merangkumi program berimpak tinggi seperti pembinaan kamus dan daftar kata, penyelidikan manuskrip Masjid Al-Qadim dan penyelidikan Darul Hana yang dijalankan pada tahun 2021.\nSeminar menampilkan empat pemakalah yang terdiri daripada Dr. Syaidul Azam Kamarudin, Perancang Bahasa DBP Cawangan Sarawak, Dr. Haji Zainal Abiddin Masleh, Pensyarah Cemerlang, Institut Perguruan Kampus Batu Lintang Kuching, Dr. Sarah Samson Juan dan Dr. Suhaila Saee masing-masing dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaysia Sarawak.\nPemakalah yang pertama Dr. Syaidul Azam Kamarudin menyifatkan peranan DBP dalam melestarikan bahasa peribumi di Sarawak cukup jelas apabila penyelidikan yang telah dijalankan oleh DBP telah menerbitkan kamus dan daftar kata bahasa sukuan. Beliau turut menjelaskan tentang kewujudan portal e-Borneo yang dapat menjadi rujukan kepada pengkaji-pengkaji tentang bahasa dan sastera yang terdapat di Sarawak.\nPembentangan oleh pemakalah yang kedua Dr. Zainal Abiddin Masleh, berharap agar pendigitalan yang dilakukan perlu memfokuskan kepada kamus dan daftar kata. Beliau turut menjelaskan pelestarian bahasa perlu dilakukan secara bersama oleh komuniti penutur dalam mempertahankan sesebuah bahasa agar pemeliharaan bahasa dapat dilakukan supaya bahasa-bahasa tidak pupus seperti bahasa Latin, Tambora dan Seru (Sarawak).\nPemakalah yang ketiga Dr. Suhaila Saee berkata kaedah konvensional dalam mendokumentasikan kepelbagaian sumber bahasa sangat bergantung kepada kepakaran dan usaha ahli bahasa di peringkat linguistik dan memerlukan kesungguhan, masa dan kos yang tinggi. Jadi beliau berharap agar teknologi yang ada hari ini dapat dimanfaatkan dalam usaha memperkembangkan dan mengekalkan semula bahasa peribumi di Sarawak.\nDr. Sarah Samson Juan, pemakalah terakhir berpandangan teknologi digital merupakan elemen penting di dalam memudahkan proses pengumpulan data bahasa. Teknologi ini mempunyai pelbagai fungsi sedia ada yang boleh membantu menganalisis data serta membuat aplikasi interaktif yang memberi manfaat kepada pengguna sistem. Puan Coretta Herliana Kura, Perancang Bahasa bertindak selaku moderator dalam seminar ini.\nMajlis yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook \u00ad\u00ad\u00ad\u00ad\u00ad\u00ad\u00ad\u00ad\u00adDBP ini dihadiri oleh 20 undangan yang terdiri daripada kakitangan, penulis dan rakan penyelidik. Seminar ini diadakan mengikut prosedur operasi standard seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia." "Mohd Zuriyadi Sarpin: Cabaran Kurator Muda Masa Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBak kata pepatah Melayu, ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Datuknya merupakan seorang pemain muzik dan penyanyi dalam kumpulan Cempuling, iaitu sebuah aliran muzik tradisional Jawa yang popular di Lembah Klang. Ayah dan ibunya pula memperkenalkan karya seni lukis, memandangkan mereka berdua berbakat dalam melukis. Itulah Mohd Zuriyadi Sarpin, Kurator dan Ketua Cawangan, Cawangan Pembangunan Usahawan dan Industri, Balai Seni Negara.\nZuriyadi mendapat pendidikan formal di Universiti Teknologi MARA dalam bidang Diploma Seni Lukis dan Seni Reka dan memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang sains sosial di Universiti Sains Malaysia. Setelah itu, Zuriyadi bekerja sebagai seorang pereka grafik selama 5 tahun sebelum bertugas sebagai Penolong Kurator di Balai Seni Negara. Kini, beliau merupakan Kurator di Balai Seni Negara.\nAntara tugas sebagai kurator termasuklah membantu menyelaraskan pelbagai pameran di dalam dan luar negara. Zuriyadi ditempatkan di Unit Komunikasi Korporat, Cawangan Promosi dan Pemasaran untuk memastikan unit ini mampu mengangkat imej Balai Seni Negara. Di cawangan ini juga membuatkan Zuriyadi berjaya membuat jaringan perniagaan bersama-sama beberapa agensi pengiklanan popular di Malaysia dan mendekati para wartawan seni tanah air.\nZuriyadi juga bertanggungjawab untuk mewujudkan hubungan perniagaan dengan pemain industri di bawah jenama Art Marketplace (Jualan Seni), mengendalikan portal gogallery.my, Go Tutorial (platform pembelajaran online) dan membuat jaringan dengan pihak industri seperti Artespree, ArtInBook, Piksum dan program Jelajah Keusahawanan Seni.\nBercerita tentang Balai Seni Negara, Zuriyadi menjelaskan bahawa Balai Seni Negara berperanan mengumpul, memulihara dan mempamerkan hasil seni visual rakyat dan negara, serta karya signifikan antarabangsa melalui perolehan koleksi, konservasi, pameran koleksi, penyelidikan, penerbitan, promosi dan wacana seni. Seterusnya, balai ini turut berusaha untuk mengembangkan potensi sebagai pembangun tamadun seni budaya negara dengan mendaya usaha aktiviti seni untuk memperoleh pendapatan melalui aktiviti seni budaya, bantuan kepada penggiat seni, memberi sokongan dan khidmat nasihat serta memajukan pembangunan seni visual.\nSebagai sebuah agensi kerajaan yang ditugaskan untuk memartabatkan seni visual, sudah tentu matlamatnya selari dengan polisi negara. Balai Seni Negara terikat dengan undang-undang dan peraturan tertentu. Balai Seni Negara tidak menghalang pengkarya menghasilkan karya seni kerana memahami kreativiti itu perlu diraikan, namun jika terdapat karya yang bersifat provokasi melampau atau bertentangan dengan norma masyarakat yang terlalu ekstrim, maka Balai Seni Negara perlu mengambil langkah tertentu kerana pelanggannya bukan hanya pelukis dan orang seni, namun seluruh rakyat Malaysia.\nDalam hal ini, para seniman mungkin berasakan bahawa Balai Seni Negara menghalang kreativiti mereka, namun sebenarnya ada peranan yang lebih besar perlu dimainkan oleh Balai Seni Negara. Hal ini merupakan cabaran utama bahagian Kuratorial. Perdebatan tentang hal ini tidak pernah selesai. Justeru itu, pihak Balai Seni Negara sentiasa proaktif untuk menyelesaikan segala perkara yang berbangkit. Selain itu, antara cabaran lain termasuklah menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti seni. Hal ini dikatakan demikian kerana Balai Seni Negara sentiasa dilihat sebagai pendukung utama seni dan tidak harus ketinggalan dalam menjuarai aktiviti seni visual tanah air dengan menganjurkan pameran dan pertandingan.\nMenyentuh tentang perkembangan seni visual di luar lembah Klang, Zuriyadi menyatakan bahawa setiap negeri mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Di Pulau Pinang misalnya, terdapat beberapa pusat seni, seperti Hin Bus Depot, dan agensi seperti Penang Art District dan Think City. Selain itu, Balai Seni Pulau Pinang juga sangat aktif menjalankan pelbagai pameran dan pertandingan untuk mencungkil bakat baharu. Selain itu, perkembangan seni mural jalanan di Pulau Pinang turut merebak di seluruh Malaysia. Di samping itu, menurut statistik, terdapat 70 buah galeri di seluruh Malaysia, enam buah rumah lelongan seni, lapan buah galeri seni di institut pengajian tinggi seluruh Malaysia dan 28 buah kumpulan dan persatuan seni di Malaysia. Data ini menunjukkan bahawa seni visual itu tidaklah bersifat statik, namun bergerak secara organik di seluruh Malaysia.\nDalam aspek pemasaran pula, menurut Zuriyadi, seni itu sebenarnya merupakan satu bentuk komoditi. Urus niaga seni mempunyai pusingan ekonomi yang tersendiri dengan wujudnya transaksi jual beli karya di Malaysia. Pihak galeri wujud kerana adanya aktiviti jual beli lukisan, manakala rumah lelong wujud kerana adanya permintaan. Maka itu, seni merupakan satu peluang perniagaan yang baik bagi sesetengah pemain industri. Pada tahun 2018, pulangan hasil jualan seni untuk negara ialah RM71.46 juta. Sungguhpun demikian, kebanyakan seniman tanah air tidak mahir dalam urusan perniagaan dan hanya mengikut kata pemilik galeri atau pengumpul koleksi untuk menentukan urusan jual beli dan kontrak perjanjian.\nPada hakikatnya, para seniman berkarya untuk kepuasan peribadi dan mengharapkan pihak galeri membeli karya mereka atau menawarkan peluang berpameran. Sedangkan jika mereka mempunyai ilmu dalam perniagaan, sudah tentu karya meraka dapat dikomersilkan. Budaya seni di Malaysia masih belum pada tahap tertinggi dan kerjaya sebagai pengurus seni di Malaysia masih belum berkembang. Di Eropah misalnya, rata-rata pelukisnya mempunyai pengurus yang menguruskan hal berkaitan promosi dan pemasaran, serta peluang berpameran di galeri atau muzium berprestij tinggi. Seniman seperti Raja Azhar dan Yusof Gajah merupakan contoh pelukis yang baik kerana berjaya menerapkan eleman keusahawanan dalam diri mereka.\nMengakhir perbulan, Zuriyadi menegaskan bahawa Malaysia tidak ketandusan bakat seni. Saban tahun, banyak nama baharu yang wujud dalam dunia seni visual tanah air. Ruang pameran juga semakin banyak dan hal ini membantu merancakkan aktiviti seni di Malaysia. Walau bagaimanapun, negara masih lagi kekurangan pengkritik seni yang benar-benar kritikal bagi mengimbangi ekosistem seni di Malaysia. Penulisan dan perbincangan tentang hal seni di Malaysia harus lebih rancak dan diterbitkan untuk dijadikan sebagai rujukan umum.\nDiharapkan pada masa akan datang, pihak kerajaan dapat memberikan pengecualian cukai kepada rakyat Malaysia yang membeli karya seni pelukis tempatan. Hal ini secara tidak langsung memberikan galakan kepada peminat seni untuk membeli dan menghargai karya seni, sekali gus merancakkan aktiviti jualan seni di Malaysia.\nPenulis merupakan pensyarah seni visual di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA)." "Akulturasi Budaya Jepun-Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan program Cakna Ilmu: Luar Jendela pada 27 Mac 2021 yang diadakan secara langsung menerusi Facebook DBP Malaysia. Tema program pada kali ini ialah \u201cKonbanwa Malaysia Akulturasi Budaya Jepun-Malaysia\u201d.\nProgram yang menampilkan lima orang ahli panel yang pernah bermausatin di Malaysia kerana menyambung pelajaran, iaitu Yuka Kanamori (Anisah), Tomomi Kurosa (Balqis), So Kimura (Solehan), Iljima Hazuki (Zubaidah) dan Kuroda Rin (Redhuan) ini diadakan bertujuan menarik minat masyarakat dapat berbahasa Melayu dengan betul. Selain itu, program ini juga diharapkan dapat memberikan pendedahan kepada orang asing terhadap bahasa Melayu. Aspek bahasa dan budaya Melayu dan Jepun turut dikupas dengan panjang lebar dalam program ini.\nPerbincangan berkisar tentang persamaan budaya Jepun dan Malaysia. Zubaidah mengatakan yang dia gemar membelanja rakan-rakannya terutamanya rakan yang lebih muda daripadanya kerana sudah terbiasa dengan budaya masyarakat di Malaysia. Redhuan pula mengatakan bahawa persamaan budaya Malaysia dengan Jepun ialah masyarakatnya kerap memberikan hadiah dan sangat menghargai generasi tua.\nSelain itu, persamaan antara budaya Malaysia dengan Jepun ialah generasi muda tidak meminta-minta duit belanja dan sentiasa berdikari walaupun mereka sedang melanjutkan pelajaran di universiti. Antara keunikan budaya Jepun ialah mereka sentiasa mengucapkan terima kasih kepada orang yang menjaga kesejahteraan mereka pada setiap musim seperti musim panas, musim luruh dan lain-lain lagi. Mereka turut memberikan hadiah sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka tersebut. Aspek kebersihan juga sangat dititikberatkanMereka juga sangat mementingkan aspek kebersihan. Mereka diajar dan membersihkan setiap kawasan sekolah sejak dari kecil lagi.\nProgram tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat. Program seumpama ini harus diteruskan agar bahasa kita sentiasa segar dan tidak lekang dari bibir penutur asing." "Merdunya Dialek Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nNegeri Perlis Indera Kayangan mempunyai 22 buah mukim. Setiap mukim tersebut mempunyai pelat atau lenggok bicara yang berlainan. Perlis mempunyai dua bahagian, iaitu Perlis Utara dan Perlis Selatan. Apabila sesebuah negeri bersempadan antara satu sama lain, maka dialek yang ada turut dipengaruhi oleh pengguna bagi kedua-dua bahagian yang bersempadan itu.\nSehubungan dengan itu, pengaruh bahasa atau pelat Siam juga mempengaruhi penduduk di bahagian Perlis Utara, yang bersempadan dengan negara Thailand. Hal ini demikian kerana kemerduan dialek Perlis ini terpengaruh disebabkan oleh pengarah daripada dialek Siam yang mempunyai kemerduan lenggok pertuturan yang sopan dan lebih lembut berbanding dengan dialek Melayu yang lain. Kedudukannya yang unik ini turut memberikan impak kepada dialek Melayu yang dituturkan oleh penutur natif di Perlis.\nMenurut Kamus Dewan Edisi Keempat, dialek merupakan satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau oleh sesuatu kelas sosial yang berbeza daripada bahasa standard, loghat atau pelat daerah. Menurut Zaki Abdul Halim dari Pusat Sains Liberal, Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Perlis, \u00a0dialek Perlis merupakan subdialek bagi dialek Melayu Kedah Utara, termasuklah Kubang Pasu, Padang Terap, dan Langkawi. Dari situlah loghat dialek Perlis wujud daripada sebahagian loghat dalam dialek Kedah.\nDialek Perlis merupakan turunan daripada dialek Kedah (Induk). Penyebaran dialek Melayu Kedah pula tidak asing lagi kerana Perlis telah lama berada di bawah pemerintahan Kedah sebelum kedua-duanya dipisahkan. Berdasarkan dialek Perlis ini, beberapa ciri khas dapat dikenal pasti, iaitu:\nDialek Perlis mempunyai sabdu seperti yang terdapat pada dialek Kelantan. Sabdu dalam dialek Perlis dapat dilihat dan diperdengarkan bagi konsonan /k/ dan /t/ yang menghasilkan bunyi pekat, tebal dan mendalam semasa konsonan itu diujarkan.\n[betis] \u2013 [betih]\n[kurus] \u2013 [kuruih]\n[tembikai] \u2013 [temikal]\n[kelambu] \u2013[kelamu]\n[gadum] \u2013 [gandun]\n[pulut] \u2013 [puluit]\n\u00a0\nkapa\n/kapa/\nkamu semua\nDialek Perlis mempunyai satu keunikan daripada bahasa Melayu Baku walaupun dialek ini dirangkumkan dalam dialek utara yang leksikalnya hampir sama dengan dialek di negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara. Faktor penyebaran dialek di Perlis disebabkan oleh faktor sejarah dan faktor geografi.\nSecara ringkasnya, Perlis pada asalnya berada di bawah pemerintahan kerajaan Kedah. Pada masa yang sama, terdapat kerajaan Siam yang bersempadan dengan negeri Kedah. Perlis pula berada di tengah-tengah, iaitu di antara dua kerajaan besar ini.\nPeperangan telah berlaku antara dua kerajaan ini dan menyaksikan Perlis memilih untuk berpihak kepada Siam. Setelah peperangan berlalu, Perlis diberi hak pemerintahan sendiri oleh Siam.\nWalaupun Perlis telah menunjukkan keragaman dialeknya, dialek Perlis ini masih kurang mendapat perhatian dan penelitian yang mendalam dari segi bidang pengkajian bahasa, iaitu dari segi fonologi, morfologi mahupun sintaksis. Dengan adanya kuasa media sosial kini telah memudahkan dialek-dialek Melayu disebar luas kepada pengetahuan umum oleh pempengaruh media. Hal ini demkian kerana dialek ialah satu khazanah yang sangat bernilai dalam sesebuah masyarakat dan mampu dijadikan rujukan bagi generasi pada masa hadapan." "Batik Kembali Jadi Perhatian Ketika Pelaksanaan PKP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBatik sememangnya telah terkenal di alam Melayu sejak berabad lamanya dan menjadi sebahagian daripada budaya masyarakatnya. Batik dipercayai berasal daripada perkataan Jawa, iaitu ba dan tik, yang membawa maksud setitis lilin. Manakala, Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan batik sebagai kain yang bercorak dilukis atau ditera dengan lilin dan dicelup.\nDi Malaysia, batik merupakan bidang kraf tangan tradisional yang unik dan istimewa, selain songket, sehinggakan Majlis Kraf Dunia-Asia Pasifik mengiktiraf batik Malaysia sebagai salah satu kraf tempatan yang terkenal di peringkat global. Walaupun pihak Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah mengiktiraf batik sebagai warisan tidak ketara milik Indonesia pada tahun 2009, tetapi tidaklah bermakna kerajaan Malaysia tidak berusaha untuk turut mendapatkan pengiktirafan berkenaan. Tambahan pula, batik Malaysia adalah berbeza dengan batik Indonesia. Antara perbezaan yang dapat dilihat dengan ketara termasuklah batik Malaysia memiliki lebih banyak motif dan corak flora, penggunaan peralatan canting satu mata, dan digunakan sebagai pakaian dan perhiasan.\nSepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia, terdapat dua sidang media khas saban hari yang menjadi tumpuan tontonan masyarakat Malaysia iaitu sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri dan sidang media Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah. Yang menariknya, selain maklumat semasa berkaitan wabak COVID-19, masyarakat juga tertarik dengan pemakaian kemeja batik oleh Datuk Seri Ismail Sabri apabila isu ini menjadi tular di laman media sosial. Pemilihan persalinan batik dengan rekaan corak dan warna yang menarik membuatkan masyarakat jatuh hati dengan batik Malaysia. Hal ini sekali gus mempromosikan batik Malaysia dan keunikannya masih lagi menjadi perhatian masyarakat.\nSejarah menunjukkan batik telah wujud sejak lebih 1000 tahun dahulu dan berkemungkinan bermula dar Mesir Kuno. Di Asia Tenggara, batik disebut dalam sejarah pada abad ke-17. Manakala di Malaysia, perkembangan batik dipercayai telah bermula di Pantai Timur dan hingga kini batik sememangnya antara daya tarikan pelancongan bagi negeri Kelantan dan Terengganu. Menurut Abdullah Jumain dalam kajiannya bertajuk \u201cBatik: Sejarah dan Keistimewaan Tekniknya\u201d, terdapat pelbagai jenis batik yang di Malaysia, antaranya termasuklah batik lukis atau canting, batik blok atau terap, batik skrin, dan batik pelangi.\nPenggunaan batik sememangnya sangat meluas dalam kalangan masyarakat Malaysia. Bagi wanita, kain batik digunakan dalam pelbagai gaya ,sama ada dijadikan baju kurung atau kebaya, atau digunakan sebagai kain sarung atau basahan di rumah. Manakala, lelaki juga menggayakan batik sebagai kemeja ketika menghadiri majlis-majlis keramaian atau acara formal. Dalam usaha mempromosikan batik ke negara luar, dua syarikat penerbangan Malaysia, iaitu Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan Malindo Air telah menggunakan batik sebagai pakain seragam bagi para pekerja mereka. Rekaan kebaya para pekerja MAB yang menggunakan batik Sarawak bercorakkan bunga tempatan iaitu bunga cempaka, bunga melur dan bunga raya telah disenaraikan antara seragam paling cantik di dunia pada tahun 2018. Hal ini membuktikan keunikan batik mampu menjadi tarikan masyarakat dunia.\nUsaha untuk mengkomersilkan batik sentiasa dilakukan oleh pihak kerajaan kerana keunikan yang ada padanya, selain batik yang merupakan salah satu identiti bangsa Malaysia. Ikon yang paling diingati dalam memartabatkan batik, baik di dalam mahu pun di luar negara, sudah tentulah Allahyarham Tan Seri Endon Mahmood yang telah mengilhamkan dan melancarkan Batik Malaysia: Ciptaan Untuk Dunia. Allahyarham terus membantu mempromosikan dan memartabatkan seni kraf tempatan, terutamanya batik melalui pertubuhan sebuan badan bukan kerajaan, iaitu Yayasan Budi Penyayang.\nSelain itu, Pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Endon yang mula diadakan pada tahun 2003 juga merupakan antara medan terbaik dalam melahirkan lebih ramai pereka muda yang berbakat dalam seni batik. Hingga kini pertandingan ini masih dijalankan dan berjaya mencungkil lebih banyak bakat baru dan menghasilkan pelbagai rekaan dan inovasi penggunaan batik di Malaysia. Konvensyen Batik Antarabangsa Kuala Lumpur buat julung-julung kalinya juga telah diadakan di negara ini pada tahun 2005 dengan menampilkan 14 orang pembentang kerjas kerja daripada seluruh negara. Bahkan, Allahyarham Tan Seri Endon juga telah dipilih sebagai \u201cTokoh Jarum Berlian Malaysia 2004\u201d kerana usahnya memartabatkan seni warisan negara.\u00a0 Usaha Allahyarham kini diteruskan oleh anaknya, Nori Abdullah yang merupakan Pengerusi Yayasan Budi Penyayang melalui pelbagai program terasuklah melalui Galeri Seni Indon.\nPada tahun 2008, semua kakitangan awam lelaki di Malaysia disarankan memakai baju batik Malaysia pada setiap hari Khamis. Usaha kerajaan ini dianggap tepat sebagai antara usaha kerajaan mempopularkan kembali batik yang semakin dilupakan masyarakat. Bahkan, hingga ke hari ini saranan tersebut masih diamalkan. Keunikan batik jelas masih menjadi perhatian apabila penggayaan kemeja batik oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri dalam sidang medianya menjadi perhatian masyarakat dan tular di media-media sosial. Pemilihan kemeja batik dengan corak rekaan yang menarik selain warna yang menonjol menyebabkan masyarakat begitu tertarik dan teruja dengan batik. Hal ini membuktikan bahawa batik sebenarnya bukanlah sesuatu fabrik yang kolot untuk dipakai.\nDalam usaha memastikan batik untuk terus kekal relevan, usaha untuk melakukan inovasi terhadap pemakaian dan penggunaan batik di kalangan masyarakat wajar diteruskan. Walau bagaimanapun, menurut Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) Ibrahim Ismail, usaha itu perlu juga dilaksanakan tanpa mengabaikan identiti asal batik. Hal ini dikatakan demikian kerana industri kraf tidak boleh bersifat statik atau mengongkong dan jika hanya masih menggunakan kaedah lama mungkin juga batik tidak menepati permintaan semasa pasaran.\nKini, batik lukis Terengganu juga digunakan oleh pengusaha MaryamBayam bagi membuat aksesori kepala dan anting-anting sebagai antara inovasi dalam meneroka pasaran batik yang lebih luas selain memenuhi cita rasa anak muda kini. Semasa program Batik Fest 2019 di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada tahun 2019, jerai MaryamBayam merupakan antara gerai popular yang mendapat perhatian pengunjung daripada dalam dan luar negara.\nUsaha Kraftangan Malaysia memperkenalkan batik linut di Mukah, Sarawak yang diperbuat daripada sagu bagi menggantikan penggunaan lilin merupakan antara teknik baharu dalam pembuatan batik. Kraftangan Malaysia juga berhasrat untuk meneroka lebih banyak teknik dan mencipta identiti batik bagi setiap negeri. Sebagai contohnya, bunga lada bagi Negeri Sembilan, bunga Kesidang bagi negeri Melaka, bunga Raflessia bagi negeri Sabah dan bunga Orkid Normah bagi negeri Sarawak. Selain inovasi batik, kerajaan melalui Kraftangan Malaysia juga giat mempromosikan batik melalui beberapa festival seperi Hari Kraf Kebangsaan (HKK), Batik Kraft dan sebagainya dalam usaha meluaskan pemasaran batik Malaysia kepada masyarakat..\nSecara kesimpulannya, jualan produk kraf negara telah mencatat kkeuntungan sebanyak RM 465.5 juta pada tahun 2019 dan 34 peratus daripadanya adalah hasil daripada jualan produk berasaskan batik. Jadi, sewajarnya usaha untuk terus melakukan inovasi terhadap penggunaan batik selain memartabatkan batik sebagai warisan negara wajar dilakukan secara berterusan kerana batik bukan sahaja akar budaya masyarakat kita tetapi juga mampu menjana ekonomi negara.\nPara pemimpin perlu mencontohi Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri yang mengenakan kemeja batik sebagai persalinan dalam sidang media beliau. Masyarakat juga perlu mengambil langkah proaktif dengan membeli batik asli Malaysia berbanding batik negara luar demi memastikan kelangsungan industri ini di negara kita. Jika setiap pihak mampu menjadi duta kepada produk batik, sudah semestinya batik tempatan mampu menerokai pasaran dunia." "Bantu Promosi Pengusaha Seni Budaya Hulu Selangor\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHulu Selangor \u2013 Pandemik COVID-19 yang melanda sejak tahun lalu bukan sahaja membantutkan peningkatan ekonomi negara, bahkan turut mengubah landskap kehidupan dan pendapatan masyarakat, terutamanya dalam bidang seni dan kebudayaan. Atas dasar itu, Majlis Kebudayaan Negeri Selangor dan Jawatankuasa Pelaksanaan Program Rentak Selangor telah mengadakan lawatan khas melawat lokasi pengusaha kesenian dan kebudayaan pada 6 hingga 7 Mac 2021 yang lalu.\nObjektif utama lawatan ini diadakan adalah untuk membantu mempromosikan produk dan hasil kesenian dan kebudayaan masyarakat di Hulu Selangor, sekali gus meningkatkan semula pendapatan para pengusaha yang terjejas. Lawatan yang diadakan selama dua hari itu meliputi kawasan Kuala Kubu Bharu dan Bukit Beruntung dengan melibatkan bidang kesenian, seperti batik, kraf kitar semula, seni tarian dan pembuatan alat muzik menggunakan barangan terbuang.\nDengan berlangsungnya program seperti ini, diharapkan dapat membantu mengurangkan beban para pengusaha kesenian dan kebudayaan di Selangor yang terjejas dengan mempromosikannya melalui platform media konvesional dan baharu. Lawatan ini disertai oleh para pengamal media di seluruh negara dan sidang media bersama Tuan Borhan Aman Shah, Pengerusi Jawatankuasa tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Negeri Selangor." "Pelancongan Era COVID-19: Melancong Gaya Patuh SOP, Patuh Syariah dan Peduli Sosial\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKita menduga angka 2020 menjadi satu lagi tahun membangun dalam era kemajuan dan perkembangan globalisasi. Namun begitu, tiada sesiapa pun yang menjangkakan sebaliknya yang berlaku. Tahun 2020 ternyata meninggalkan sejarah dan tamparan besar yang akan dikenang seumur hidup. Mengimbas tragedi pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia sejak Mac 2020, secara tidak sedar sudah setahun kita berjuang mengharunginya dengan pelbagai pengalaman dan perasaan.\nTidak perlu dibutirkan satu per satu lagi kesan dan akibat yang dihadapi susulan wabak ini. Kita akui bahawa kelembapan ekonomi telah melanda negara tercinta. Dengan bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar Mac 2020 yang lalu, majoriti pemain industri terkesan. Sektor pelancongan juga menerima nasib yang sama. Bayangkan industri yang mempunyai hampir empat juta pekerja ini telah dibebani kesulitan ekonomi. Sebagai buktinya, sekitar 45 bilion kerugian telah pun direkod dalam tempoh enam bulan pertama.\nBayangkan lagi industri pelancongan dan kebudayaan adalah antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi. Namun memetik kenyataan yang disuarakan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri menerusi laporan Berita Harian Online pada 27 Jun, sebelum penguatkuasaan PKP, sektor ini menyumbang lebih kurang 15.5 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK). Walau bagaimanapun sesudah PKP, bidang ini juga antara yang paling terkesan sekali gus memberi impak negatif kepada pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan. Bukan itu sahaja, Jabatan perangkaan Malaysia (DOSM) turut mencatatkan jumlah pekerjaan bagi April 2020 menurun sebanyak 1.0 peratus kepada 14.93 juta orang berbanding tempoh yang sama pada 2019.\nMeskipun begitu, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang pernah dijalankan pada 10 Jun 2020 yang lalu menyaksikan kerajaan membenarkan industri pelancongan untuk beroperasi secara peringkat. Sudah pasti sedikit sebanyak membantu pihak pemain industri untuk kembali membangunkan ekonomi masing-masing.\nKini memang kita belum menang melawan pandemik ini, namun \u201clampu hijau\u201d yang telah dikeluarkan kerajaan ini menyaksikan penggiat industri perlu tampil kreatif, berani dan terus berdaya saing. Hanya strategi dan pendekatan baharu mampu untuk menarik kembali perhatian pelancong tempatan sekali gus merancakkan semula sektor pelancongan negara.\nKuasakan Pelancongan Domestik\nPelancongan domestik dilihat sebagai satu-satunya inisiatif yang mampu mengaktifkan dan memulihkan sektor ini selagi sempadan negara masih ditutup.\nMenurut Hafiz Hazin, Pengarah TOURISM Malaysia Wilayah Timur, jika sempadan negara dibuka, kemungkinan hanya membabitkan kemasukan pelancong dari negara hijau. Namun hingga kini, kita belum tahu kemampuan negara jika inisiatif sebegini diambil. Kita juga tidak pasti adakah rakyat telah benar-benar bersedia? Justeru itu, kempen pelancongan domestik perlu digiatkan.\nSetahun berlalu rasanya rakyat sudah memahami bahkan cakna dengan perubahan baharu yang melanda negara. Lantaran itu masyarakat dilihat sudah bersedia dan bijak dalam mengurus risiko penularan virus. Tidak dinafikan pasti wujud segelintir masyarakat yang masih memilih untuk menangguhkan dahulu aktiviti rekreasi atau pelancongan yang sudah dirancang, namun kita juga tidak menafikan segelintir yang lain pula sudah bersedia untuk meneruskan kelangsungan minat dan rutin.\nDi sinilah penggiat perlu terus berperanan dalam memperhebatkan promosi pelancongan masing-masing. Platform laman sosial perlu diperluaskan agar capaian maklumat dan hebahan diterima ramai. Kerjasama dengan pihak berkaitan termasuk media juga perlu disinergikan. Ternyata kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan progresif apabila Program Semarak Pelancongan Domestik dan Kempen Cuti-Cuti Malaysia dilancarkan dalam usaha untuk menyemarakkan pelancongan dalam negara.\nBudayakan Norma Baharu\nAlah bisa tegal biasa. Begitulah yang boleh dikaitkan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi ketika kita berada di premis luar atau menjalani aktiviti di luar. Sudah pasti sektor pelancongan juga tidak terlepas daripada membudayakan norma baharu ini.\nTidak dapat tidak, pemain industri perlu tegas dan menitikberatkan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan norma baharu. Para pelancong juga sepatutnya tidak memandang remeh apatah lagi mudah melatah. Sebenarnya kedua-dua pihak sama ada pemain industri dan pelancong perlu sentiasa bersedia dan terbuka dalam memahami perubahan ini. Ingatlah kedua-dua memiliki peranan penting bagi memastikan kebarangkalian penularan virus berkurangan sekali gus membantu memutuskan rantaian gejala ini. Bukankah mencegah lebih baik daripada mengubati? #Kitajagakita; itulah yang kita lakukan.\nMalaysiaku Indah\nTidak perlu memandang jauh, negara kita sendiri memilki ratusan destinasi ekopelancongan yang menawarkan peluang dan pengalaman menarik untuk menikmati keindahan semula jadi. Jika sebelum ini kita memilih mengembara ke negara luar, kini tibalah masanya kita kembali melihat khazanah yang ada di tanah air sendiri.\nTaman Negara Pahang merupakan taman negara yang terbesar dengan keluasan 2,477 km\u00b2 diikuti oleh Taman Negara Kelantan seluas 1,043 km\u00b2 dan Taman Negara Terengganu seluas 853 km\u00b2. Lebih istimewa di sinilah berdirinya Gunung Tahan yang menjadi gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia dengan ketinggian 2187m. Selain daripada aktiviti pendakian gunung, pelancong juga boleh memerhati kehadiran hidupan liar di bumbung rimau yang kebiasaannya memerlukan pelancong untuk bermalam di situ. Bagi aktiviti sungai pula, pelancong boleh memancing raja ikan sungai iaitu ikan kelah. Namun syaratnya ialah \u201ccatch and release\u201c sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perhilitan.\n\u201cSecara purata bagi tahunan setiap penunjuk arah akan mendaki Gunung Tahan sekurang-kurangnya sekali sebulan dan 12 kali setahun seorang, namun bagi penunjuk arah yang aktif bilangan dalam sebulan berkemungkinan bertambah. Berbeza setelah COVID, tiada lagi pelancong yang hadir disebabkan pelaksanaan PKP,\u201d kongsi Wan Mohamad Adham Wan Mohamad, 27 tahun yang bertindak sebagai pemandu pelancong Taman Negara Pahang Sg Relau. Beliau yang juga penunjuk arah Gunung Tahan dan pemegang lesen asas pemandu pelancongan ini cukup sebati dengan gunung tersebut hampir empat tahun lamanya.\n\u201cSebelum COVID had kehadiran pendakian pada setiap hari ialah seramai 48 orang peserta. Namun kini had peserta yang ditetapkan ialah hanya 20 orang pada setiap hari.\u201d Tambahnya lagi untuk aktiviti berkhemah juga peserta tidak dibenarkan untuk berkongsi khemah sebaliknya perlu membawa khemah sendiri. Syarat ini juga menjadi garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Taman Negara Pahang.\nMenyahut saranan kerajaan, Adham turut memberitahu pelaksanaan promosi semula produk-produk yang ada di Taman Negara Pahang dan juga sekitar kampung yang berdekatan giat dilakukan oleh pasukan mereka dalam usaha merancakkan kembali aktiviti pelancongan di situ.\n\u201cTerlalu banyak daya tarikan dari segi geologikal dan biologikal di sini. Gunung Tahan adalah tarikan kuat. Namun selain itu, Taman Negara Pahang Sg Relau juga kaya dengan haiwan mamalia yang jarang ditemui dan semakin pupus seperti harimau, tenuk, gajah dan rusa bahkan Sungai Tahan menjadi kawasan habitat kepada ikan kelah.\u201d\n\u201cAntara aktiviti baharu yang perlu dicuba pelancong ialah berkenu. Kami tawarkan dua pakej iaitu 3 hari 2 malam dan 4 hari 3 malam yang melibatkan lokasi Kuala Juram ke Kalung dan Kuala Juram ke Kuala Yu.\u201d\nDari Lensa Iman\nBagi bakal pelancong yang berperanan dan berpotensi besar dalam menggerakkan dan memulihkan ekonomi sektor pelancongan, pematuhan SOP tampak biasa namun hakikatnya ia memberi impak yang luar biasa. Jika bergejala seperti sesak nafas, batuk, selesema dan demam, dapatkan rawatan susulan. Di sinilah kita jaga kita perlu dilaungkan selalu.\n\u00a0\nAda petikan hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim menyebutkan, \u201cTidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri.\u201d\nJadi norma baharu hakikatnya mewujudkan bahkan menggandakan kepedulian sosial antara kita. Lebih indah lagi, hari ini kita melancong bukan hanya sekadar patuh SOP tetapi juga patuh syariat. Bermakna kita tidak melancong ke lokasi yang tidak selamat dikunjungi, sederhana dalam berbelanja memandangkan melancong di dalam Malaysia dan mengambil ibrah daripada musafir.\nKita tidak lagi sekadar merehatkan fikiran sebaliknya merangsang pemikiran agar lebih banyak mengingati Pencipta apatah lagi ketika diuji sebegini. Inilah serampang dua mata kita. Ketika musafir atau melancong pula, usah lupa memperbanyakan berdoa agar wabak ini diangkat Yang Esa. Kita percaya bahawa \u00a0doa orang musafir antara doa yang dikabulkan Allah.\nYa, setiap kali sesuatu yang buruk berlaku, kita ada dua pilihan iaitu sama ada membiarkannya melemahkan kita atau menjadikan kita lebih kuat. Ketika kita merasakan berkurangnya sumber ekonomi dan lain-lain tetapi sebenarnya ada juga yang bertambah. Apa? Bukankah kita lebih banyak berdoa, lebih sayangkan diri dan orang lain, lebih bersedia dengan segala kemungkinan, lebih berani bertindak dan mencuba, lebih bersyukur, lebih bijak dan banyak lagi!\nBenarlah firman Allah SWT, \u201cBoleh jadi kamu membenci sesuatu padahal itu baik bagi kamu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal itu buruk bagi kamu, Allah jualah yang mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya.\u201d (Surah al-Baqarah: 216)\nKita pasti menang, Insya-Allah!" "Sembang Seni dan Budaya Filem Butak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan Sembang Seni dan Budaya yang telah diadakan pada 13 April 2021. Program yang diadakan pada kali ini menyentuh tentang filem \u201cButak\u201d arahan Sabri Yunus. Program tersebut menampilkan tiga orang ahli panel yang terdiri daripada Maizura Ederis; penulis skrip, U-Wei Haji Saari; pengarah filem dan Fadli Al- Akiti yang merupakan editor majalah Dewan Sastera. Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah \u00a0bertindak selaku moderator dalam program tersebut.\nMaizura Ederis menyatakan bahawa filem \u201cButak\u201d mempunyai unsur-unsur yang boleh mendidik masyarakat. Beliau juga menambah beliau lebih cenderung untuk menghasilkan skrip yang mempunyai unsur-unsur mendidik dan islamik. Hal ini demikian kerana karya kreatif secara tidak langsung boleh mendidik masyarakat dan memberikan nilai tambah yang positif.\nU-Wei Haji Saari pula menyatakan bahawa filem merupakan cerminan hidup yang terpilih dan seharusnya memberikan pengajaran dan nilai baharu kepada penonton. Pengarah \u201cButak\u201d, Sabri Yunus menampilkan banyak ragam masyarakat seperti dialek utara, timur dan lain-lain lagi. Ramai pengarah filem gemar membikin filem dari kaca mata kanak-kanak kerana kanak-kanak mempunyai sifat murni. U- Wei juga menambah bahawa masyarakat tidak mempunyai budaya menonton dan tidak menonton filen tempatan.\nFadli Al- Akiti berkata \u201cButak\u201d menampilkan elemen kosmologi Melayu Islam dan perkembangan jalan cerita yang manusiawi. Mesej yang dibawakan dalam filem tersebut ialah manusia mempunyai peluang untuk berubah menjadi lebih baik. Beliau juga menyatakan aspek pemasaran sangat penting untuk mempromosikan filem kepada masyarakat. Selain itu, masyarakat masih lagi menganggap filem hanyalah menumpukan aspek hiburan semata-mata. Hal ini demikian kerana masyarakat tidak didedahkan dengan aspek filem yang baik dan kurang menyentuh tentang mesej dan nilai budaya yang dibawakan dalam suatu filem. Beliau juga menyatakan bahawa masyarakat Kelantan masih lagi kuat berpegang kepada nilai budaya tradisional Melayu. Oleh sebab itu, filem \u201cButak\u201d banyak menampilkan nilai kebudayaan masyarakat Melayu.\nMajlis yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook \u00ad\u00ad\u00ad\u00ad\u00ad\u00ad\u00ad\u00ad\u00adDewan Bahasa dan Pustaka ini diadakan mengikut prosedur operasi standard seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia." "Satu Langit Satu Budaya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nWau merupakan salah satu aktiviti sukan udara yang amat popular dalam kalangan masyarakat Melayu. Permainan ini amat diminati oleh kanak-kanak dan orang dewasa memandangkan wau merupakan permainan tradisional, selain daripada permainan congkak, gasing, batu seremban, galah panjang dan sebagainya. Walau bagaimanapun, wau menjadi pilihan memandangkan mempunyai keunikan tersendiri iaitu mampu terbang tinggi di udara. Apatah lagi dimainkan secara beramai-ramai, ternyata mampu menghasilkan warna-warni, pemandangan unik, dan memukau mata, serta gah di dada langit.\nMenurut mitos yang disampaikan pada zaman dahulu, wau pada mulanya adalah permainan tanpa nama. Kanak-kanak membuatnya daripada daun tertentu, yang kemudiannya diikat pada tulang belakang daun tersebut dengan tali kelopak batang pisang atau urat daun nanas. Mereka memainkannya di tempat lapang dan kawasan yang berangin agar dapat menerbangkan wau tersebut. Pada suatu hari, permainan yang dimainkan mereka itu telah putus talinya. Seorang kanak-kanak menangis kerana terlampau sedih. Tangisan itu melahirkan bunyi \u201cwa.wa.wa.\u201d. Sejak peristiwa itu jugalah lahirnya perkataan wau.\nBukti lahirnya nama wau juga tercatat dalam catatan Tun Seri Lanang di mana Raja Ahmad bermain wau bersama-sama pemuda dan kerabat diraja. Perkataan wau juga dikaitkan juga dengan mitos Dewi Dewa Dani dan Dewa Muda. Mengikut mitos yang lain, wau wujud daripada kisah semangat padi, asal usul empayar Srivijaya, kembara Siti Zubaidah dan banyak lagi kisah-kisah yang dikaitkan dengan permainan wau.\nHari ini, permainan wau masih lagi mendapat tempat di hati semua peringkat umur. Pelbagai sambutan pesta wau yang diadakan membuatkan wau terus meniti di bibir masyarakat kini. Acara ini mampu menarik minat golongan muda yang dilihat semakin membelakangkan budaya dan warisan negara memandangkan masing-masing terlalu leka dengan permainan moden masa ini. Paling memberikan kesan adalah penggunaan wau ketika sambutan Hari Kemerdekaan.\nPada era modenisasi ini, masyarakat menikmati pelbagai kemajuan dan pembangunan fizikal yang pesat. Namun begitu, ironinya pelbagai warisan nenek moyang kita semakin dipinggirkan oleh masyarakat, terutamanya golongan muda. Adakah kita sanggup membiarkan khazanah kebudayaan kita ditelan peredaran zaman dan lenyap daripada bumi kita? Tepuk dada tanya selera.\nOleh hal yang demikian, untuk mengemarakkan lagi dunia permainan wau, pelbagai jenis dan bentuk wau telah dicipta. Antaranya termasuklah wau burung, wau pari, wau katak, wau bayan, wau merak, wau kucing, wau jala budi, wau lenggang kebayan, wah sewah, dan wau barat. Walau bagaimanapun, wau yang paling mendapat tempat dan popular adalah wau bulan. Wau dipopularkan melalui sebuah pertandingan atau acara. Dalam sesuatu pertandingan, wau diukur dari segi keindahannya iaitu bentuk, corak ciptaan, warna, keaslian dan ukuran. Salah satu kemaslahatan permainan tradisional ialah wau merupakan kebanggaan aset budaya bangsa Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana permainan tradisional wau merupakan ciptaan nenek moyang kita yang melambangkan ciri-ciri kebudayaan bangsa.\nPada kebiasaannya, wau dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang juru anjung yang memegang wau dan seorang juru tarik yang memegang tali. Permainan wau memerlukan kawasan yang berangin. Apabila adanya tiupan angin, tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik tali sehingga wang terbang tinggi di udara. Satu kepuasan jelas terasa apabila wau yang dihasilkan mampu terbang tinggi diudara. Bahkan ada wau yang dimainkan di kampung-kampung mampu terbang tinggi dan \u201cbermalam\u201d di udara. Keesokan hari barulah mereka menurunkannya semula.\nCara menghasilkan wau juga rumit. Hal ini dikatakan demikian kerana jika tidak kena cara, wau tidak mampu terbang di udara.\u00a0 Pembuat wau harus mengenali bahagian wau, seperti belalai, bilah ekor, bilah sayap, batang busur, tali busur, ekor dan beberapa bahagian penting lagi. Walau bagaimanapun, wau diperincikan kepada lima komponen asas, iaitu kepala, busur, sayap, pinggang dan ekor. Selain faktor masa, kerja meraut buluh, mengimbangi kepak dan melekat kertas juga memerlukan kepakaran, di samping pemilihan bahan mentah dan kemahiran kraf tangan.\nDalam hal ini, beberapa petua dan pantang larang dalam pemilihan buluh seharusnya diambil berat. Antaranya termasuklah pemilihan buluh dari kawasan tinggi dan lapang, buluh mestilah kering, jangan tebang buluh yang mempunyai pucuk muda, dan memilih buluh yang condong ke arah matahari naik. Rangka wau yang telah siap kemudiannya ditampal dengan kertas berlainan warna untuk menghasilkan wau yang cantik dan menarik. Selain itu turut dihias dengan corak seperti pucuk rebung atau bunga cengkih. Di kepala turut dihias rambu-rambu halus berwarna-warni menambahkan lagi kecantikan rupa. Akhir sekali, dipasangkan busung untuk mengeluarkan bunyi dengung apabila diterbangkan serta menjadi penghias dada langit.\nDi Malaysia, antara acara besar yang pernah dianjurkan dan diwartakan dalam kalendar pelancongan negara berkaitan dengan wau termasuklah Festival Layang-layang Sedunia di Johor, Festival Layang-layang Antarabangsa Kabong, Sarawak. Pesta Wau Antarabangsa Kelantan, Pesta Angin Timur, Perlis, Pesta Wau Parit Buntar, Kedah, Pesta Kebudayaan Terengganu, Rentap Wau dan Layang-Layang Tertutup Daerah Ledang, Johor.\nFestival Layang-Layang Johor merupakan festival tahunan terbesar yang disertai oleh pemain layang-layang tempatan dan antarabangsa. Selain peringkat antarabangsa dan negeri, pertandingan ini juga dibuat di peringkat daerah, seperti Pertandingan Wau Cantik dan Wau Naik, daerah Kemaman Terengganu, untuk memastikan permainan\u00a0tradisional kita tidak lenyap di bumi kita. Jika tiada usaha sebegini, maka akan lenyaplah seni kebudayaan yang dapat memperlihatkan maruah bangsa kita. Pesta seperti ini wajar diadakan saban tahun.\nPelbagai agensi, seperti majlis perbandaran, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Pendidikan Malaysia, Majlis Pelayang Malaysia, Persatuan Pelayang dan sebagainya turut memberikan sokongan setiap kali sesuatu acara berkaitan dengan wau diadakan. Bahkan turut diserikan dengan persembahan, bengkel, pertandingan, pameran wau dan layang-layang, khususnya usaha mempromosikan wau kepada generasi muda tentang keindahan permainan tradisional di Malaysia dan keharmonian sejagat.\nBak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Di sekolah, seni permainan tradisional wau seharusnya didedahkan dan dijadikan kokurikulum di sekolah. Para pelajar sewajarnya didedahkan di dalam kelas tentang wau seperti cara pembuatan, cara bermain, dan mengetahui kepentingannya terhadap kebudayaan, sekali gus menyuntik ilmu baharu. Hal ini dikatakan demikian kerana generasi muda merupakan tunjang yang bakal mewarisi pucuk kepimpinan dan mewarnai masyarakat kita kelak.\nPada kebiasaannya, tema yang dipilih dalam sesuatu permainan atau pertandingan wau untuk menunjukkan keindahahan budaya Malaysia ke seluruh dunia, seterusnya merapatkan hubungan di bawah satu langit dan satu budaya. Budaya ini ternyata mengetengahkan falsafah tersendiri mengikut kefahaman dan kepercayaan masing-masing yang penuh keindahan melalui penciptaan wau dan layang-layang. Oleh sebab itu, generasi muda bertanggungjawab untuk melestarikan khazanah ini dari\u00a0generasi ke generasi. Hiasilah dinding rumah anda dengan sebuah wau untuk tatapan dan penghias mata para tetamu. Secara tuntasnya, permainan tradisional\u00a0 merupakan khazanah warisan yang tidak ternilai. Ayuh, bangkitlah generasi baharu untuk terus mengekalkan momentum penghias warna-warni awan biru ini sejak zaman-berzaman." "Pakej Cuti Penjawat Awam Sabah dan Labuan \u2013 Bagus Baini!\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTUARAN \u2013 Tourism Malaysia melancarkan Pakej Cuti Penjawat Awam Sabah dan Labuan \u2013 Bagus Baini! pada 23 April 2021 dalam usaha untuk menyemarakkan pelancongan domestik. Program ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan pelancaran Pakej Istimewa Penjawat Awam di Kuala Lumpur anjuran Tourism Malaysia pada 3 September 2020 yang lalu.\nYB Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, yang hadir merasmikan pelancaran pakej berkenaan di Kota Kinabalu, Sabah berkata, pakej yang memberikan tawaran istimewa dengan diskaun eksklusif buat penjawat awam dan pesara serta keluarga ini bertujuan menghargai khidmat bakti mereka ketika negara dibelenggu pandemik COVID-19.\nPakej cuti tersebut memfokuskan kepada produk-produk pelancongan sekitar daerah di Sabah dan Labuan. Sebanyak 88 pakej pelancongan ditawarkan oleh 37 agensi pelancongan, 22 hotel serta 5 produk pelancongan yang mengambil bahagian bagi mempromosikan pakej percutian 2 hari 1 malam, 3 hari 2 malam, dan 4 hari 3 malam, dengan melibatkan hotel bertaraf 5, 4 dan 3 bintang serta hotel bajet di sekitar Kota Kinabalu, Papar, Beaufort, Tambunan, Tenom, Tuaran, Kudat, Kota Marudu, Tamparuli, Ranau, Sandakan, Tawau, Semporna dan Labuan.\nSelain pakej penginapan, penjawat awam dan pesara juga boleh menikmati pakej produk-produk pelancongan menarik untuk kunjungan harian dengan kadar diskaun harga tiket masuk sehingga 20 peratus. Antara produk pelancongan yang tersenarai ialah Mari Mari Cultural Village dan Muzium Lotud di Tuaran, Rumah Terbalik dan 3D Wonder Museum, Walai Tobilung di Kota Marudu dan Rimbun Stingless Bee Farm di Labuan. Tempoh sah laku pakej adalah hingga 31 Disember 2021.\nPakej Cuti Penjawat Awam Sabah dan Labuan \u2013 Bagus Baini! dibangunkan oleh Tourism Malaysia dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sabah Chapter, Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Sabah Tourist Association (STA), Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA), MASwing serta Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).\nYB Dato\u2019 Sri Hajah Nancy menyeru kepada seluruh penjawat awam dan pesara agar merebut peluang keemasan ini untuk melancong secara bertanggungjawab dengan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan kebiasaan baharu. Penjawat awam boleh mendapatkan tawaran pakej ini dengan hanya menggunakan pas pekerja mereka di agensi-agensi pelancongan terpilih. Maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang Tourism Malaysia\u00a0https://www.malaysia.travel/deals-packages dan di laman Facebook Tourism Malaysia Sabah." "Pengaruh Anime dan Manga Terhadap Golongan Muda Jepun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan program Cakna Ilmu: Luar Jendela yang telah diadakan pada 24 April 2021.\u00a0 Tema program tersebut pada kali ini ialah \u201cAnime dan Manga dalam Kalangan Muda-Mudi Jepun\u201d dan diadakan secara lintas langsung ke Tokyo, Jepun di Facebook DBP.\nTujuan program tersebut diadakan adalah untuk menarik minat masyarakat supaya berbahasa Melayu dengan betul dan memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang minat orang asing terhadap bahasa Melayu. Program tersebut menampilkan lima orang panel iaitu Kaito Ishikawa (Kamil), Rio Kamimura (Roziah), Towa Kawamura (Tijah), Koseki Ayumi (Amani) dan Riho Moriyama (Rohana). Mereka membincangkan tentang budaya dan bahasa Melayu serta Jepun.\nTowa Kawamura (Tijah) menyatakan bahawa anime dan manga dijadikan sebagai alat pendidikan semenjak di sekolah rendah lagi. Tambahnya lagi, kebanyakan cikgu sekolah menengah atau sekolah tinggi di Jepun menggunakan anime atau manga untuk menjelaskan perkara yang sukar diajar kepada para pelajar. Riho Moriyama (Rohana) pula menambah bahawa anime dan manga mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam kalangan golongan muda-mudi di Jepun.\nSelain itu, muzium anime dan manga di Jepun tumbuh seperti cendawan selepas hujan kerana sambutan yang hangat daripada masyarakat tempatan dan luar. Anime dan manga boleh menjadi medium untuk mengajar golongan muda-mudi Jepun tentang kebudayaan tradisional Jepun. Kaito Ishikawa (Kamil) menyatakan bahawa golongan muda Jepun boleh mempelajari nilai-nilai positif yang diterapkan dalam anime dan manga. Contohnya, penulis dan pelukis anime dan manga \u201cNaruto\u201d menyelitkan unsur-unsur yang positif seperti tidak mudah berputus asa, sentiasa menolong orang lain, menghormati guru, bersikap mesra dengan orang ramai dan lain-lain lagi.\nSelain itu, sewaktu mereka melanjutkan pelajaran di Malaysia, mereka juga mempelajari budaya Malaysia seperti makanan, perayaan, permainan tradisional dan lain-lain lagi. Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat luar sangat berminat untuk mempelajari bahasa Melayu dan kebudayaan unik Malaysia. Muhamad Rafiq Abd Rahman, Penolong Perancang Bahasa bertindak selaku moderator dalam program tersebut.\nProgram tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat. Semoga program seperti ini dapat diteruskan oleh DBP untuk memberikan pendedahan dan ilmu kepada masyarakat." "Allahyarham Abu Bakar Omar: Renungan Mata dan Gaya Bicara Serius Tetap Diingati\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKekuatan penampilan Abu Bakar Omar dalam lakonan drama di televisen ialah pada gaya renungan mata dan mimik mukanya yang serius ketika mendengar bicara pelakon lain kepadanya. Dialog itu akan terus diamatinya dengan penuh minat tanpa mengangguk atau mengungkapkan sebarang bicara beberapa ketika.\nKeupayaan kamera memberikan tumpuan penuh kepada wajahnya itu pula jelas menunjukkan dirinya sebagai seorang pendengar yang baik. Situasinya yang mendengar secara tenang, menyusul keluar pula kata-kata bersahaja daripada mulutnya. Ada ketikanya, tiada dialog pun yang diungkapkan dan beliau terus membisu sambil merenung kepada watak di depannya atau memandang ke arah lain.\nJika ada pun dialog yang akan keluar daripada mulutnya selepas itu mungkin\u00a0 terlalu pendek sebagai respons kepada watak yang berbicara dengannya.\u00a0\u00a0 Biasanya bermula dengan dialog yang pendek tanda respons, menyoal atau menyatakan pandangannya melalui bicaranya yang tersusun patah demi patah. Apabila watak di depannya berusaha mempertahankan hujahnya atau mengemukakan persoalan, beliau terus memerhati, seperti mula adegan tadi, dan kemudiannya akan berbicara lagi.\nBegitulah kebiasaan gaya penampilan yang agak ketara Allahyarham Haji Abu Bakar Omar yang menampakkan kematangannya ketika meniti usia emas.\u00a0 Penampilannya memegang pelbagai watak memang sudah tidak asing lagi kepada penonton yang menjadi kekuatan dalam lakonannya yang bermula dengan Sandiwara dan Panggung Drama di Radio Televisyen Malaysia (RTM) bermula era 1970-an, kemudiannya berlakon dalam drama televisen terbitan RTM.\n\u201cKetika membaca sesuatu skrip yang dihantar oleh penulis, saya sudah dapat membayangkan watak ini sesuai dilakonkan oleh Allahyarham, lalu terus menghubunginya,\u201d kata Zuraidah Mohd. Noh, penerbit drama radio di Radio Nasional FM dan Radio Klasik, yang kerap mengundangnya berlakon sejak 40 tahun lalu.\n\u201cSuaranya yang jelas dan tegas mampu memegang sebarang watak yang mencerminkan keteguhan pendirian juga kerap berlakon dalam drama berbentuk purbawara yang tidak banyak pelakon mempunyai nada suara yang sesuai untuk menggayakannya,\u201d kata Zuraidah.\n\u201cAllahyarham yang gemar bersyair, bergurindam dan menyanyi bersedia memberikan maklum balas tentang dialog atau penambahbaikan pada akhir jalan cerita kepada penerbit, malah bersedia berkongsi kebolehan dan\u00a0 membantu menunjuk ajar pelakon lain ketika berlakon agar mereka benar-benar dapat menghayati watak,\u201d tambah Zuraidah.\nKecemerlangan bakat seni lakonnya itu turut diiktiraf dalam beberapa anugerah, bermula dengan Anugerah Seri Angkasa RTM pada 1983 bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik melalui drama televisyen, Senja Belum Berakhir, dan kategori yang sama bagi drama radio pada 1990 melalui drama Igauan Semalam karya Emilia Hashim.\nDalam Anugerah Skrin pula, Allahyarham pernah memenangi dua kali dalam\u00a0 kategori pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada tahun 1999 melalui drama Mata Hati dan pada tahun 2012 sebagai Pelakon Lelaki Terbaik\u00a0 melalui drama Gincu Ayah. Melalui Festival Filem Malaysia pada tahun 1983, 1991 dan 2015 juga, Allahyarham pernah dicalonkan bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.\nPelbagai watak yang dilakonkannya sama ada bersifat protagonis yang berusaha menegakkan kebenaran, atau antagonis yang sentiasa hendak membantah dan menentang, berjaya dibawanya dengan baik.\u00a0 Kejayaan membawa kedua-dua sifat wataknya itu bukan sahaja terletak pada suaranya yang besar dan tegas, tetapi juga melalui mimik muka dan aksi lakonannya.\nSuaranya yang besar dan jelas ketika melafazkan bicara secara tersusun menggambarkan kematangannya menguasai watak yang diserahkan.\u00a0 Perwatakannnya dengan wajah yang serius menyumbang dalam menghidupkan perjalanan sesebuah cerita. Keupayaan ini menjadikan beliau antara pelakon tersohor yang mewarnai perjalanan bidang seninya yang bermula dengan drama radio dan televisyen RTM.\nAllahyarham juga turut berlakon dalam beberapa buah drama televisyen terbitan syarikat swasta. Selain berlakon memegang pelbagai watak dalam drama, Allahyarham Abu Bakar juga pernah membintangi beberapa filem pecah panggung, seperti Fenomena, Hingga Hujung Nyawa dan Duyung. Kehadiran wataknya yang hebat, sama ada sebagai pemegang watak utama atau pembantu, cukup penting yang menyumbang kepada perjalanan kisah yang dipaparkan. Hal ini termasuklah ketika melakonkan aksi sedih yang mengundang simpati penonton untuk menangis.\nBerita kembalinya Haji Abu Bakar Omar ke Rahmatullah di Pusat Perubatan Kedah di Alor Setar pada 16 April 2021 secara pantas tersebar melalui media sosial dianggap sebagai suatu kehilangan besar.\u00a0 Bukan sahaja kepada ahli keluarga, tetapi juga dunia seni lakonan tanah air yang turut dirasai oleh pendengar dan penonton. \u00a0Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat\u00a0 orang anak, serta 15 orang cucu.\u00a0 Allahyarham dilahirkan di Titi Gajah, Alor Setar, Kedah, pada 25 April 1948.\nAnak ketiganya, Afandi Abu Bakar, 43 tahun, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang ayah yang sentiasa berusaha membentuk peribadi mulia dalam kalangan anak dan cucu agar sentiasa menghormati orang yang lebih tua, terutamanya ibu bapa, dan tidak melakukan sesuatu yang boleh menyusahkan orang lain.\nMenurut Afandi, ketika usianya yang semakin meningkat dalam tempoh lima tahun ini, ayahnya\u00a0 yang pernah berniaga sebelum ini sudah kurang aktif berlakon\u00a0 walaupun banyak mendapat tawaran. Hal ini dikatakan demikian kerana beliau ingin berehat daripada bidang lakonan, memberi peluang kepada pelakon-pelakon lain dan menumpukan perhatian\u00a0 kepada rutin kehidupan seharian.\nBagi Harun Hasan, seorang sahabat baiknya di kampung sejak kecil, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang mudah bergaul dan disenangi oleh masyarakat, terutamanya kawan-kawan, suka membantu dan pemurah. Begitu juga dengan teman-teman seperjuangannya dalam bidang lakonan menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang mudah mesra, walaupun wajahnya kelihatan serius.\nWalaupun Allahyarham kini sudah tiada, tetapi gaya dan penampilannya yang tersendiri pasti tetap diingati oleh khalayak, terutamanya \u00a0apabila dapat menonton kembali lakonannya melalui filem atau drama televisyen yang diulang siar.\nMarilah kita sedekahkan bacaan Surah al-Fatihah untuk Allahyarham Haji Abu Bakar Omar. Semoga Allah SWT mencucurkan rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman." "Balai Kemashyuran Grafiti Menjadi Pusat Tarikan Baharu Kampong Gelam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSingapura \u2013 One Kampong Gelam telah melancarkan Balai Kemashyuran Grafiti pertama di Asia Tenggara pada 28 April 2021 di Kampong Gelam, Singapura yang bertujuan memperkaya pengalaman pengunjung dengan tarikan baharu pada tembok atau dinding tumpuan setinggi lima meter. Tembok tersebut yang berada di sepanjang 131 meter Bali Lane dan 107 meter Ophir Road yang menukilkan pelbagai karya menarik itu mampu memukau mata setiap pengunjung yang menyusurinya.\nProjek yang diilhamkan oleh ikonik setempat dan diterajui oleh One Kampong Gelam itu dapat memelihara pemandangan seni jalanan di Kampong Gelam. Dalam ucapan yang diberikan oleh Aileen Tan yang merupakan wakil One Kampung Gelam yang juga pemilik Blu Jaz, beliau menyatakan bahawa \u201cKerja-kerja pembinaan biasanya akan menjejaskan para peniaga dan kedai mereka. Justeru, kami bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk mengubah penghadang bunyi menjadi daya tarikan seni awam.\u201d\nTambah beliau, \u201cPara pengkarya memang arif menimba peluang yang wujud dalam sebarang kesukaran. Kami berbesar hati menerima sokongan daripada Lembaga Pelancongan Singapura, Lembaga Pembangunan Semula Bandar, Penguasa Pengangkutan Darat serta Kejuruteraan dan Pembinaan GS untuk merealisasikannya.\u201d\nBalai yang bertaraf dunia ini dibina bagi meraikan semangat, kepelbagaian dan kebebasan bersuara artis bandar di Singapura yang mempamerkan pelbagai gaya khas kreativiti mereka. Seramai 17 orang pengkarya yang terdiri daripada pengkarya mapan dan pengkarya baharu yang namanya kian dikenali telah mencurahkan idea dan melakarkan karya seni mereka pada dinding tumpuan tersebut. Antaranya termasuklah ANTZ, Didier \u201cJaba\u201d Mathieu dan Hegira yang mempersembahkan \u201cConstant Elevation\u201d yang merupakan karya fiksyen berunsurkan persekitaran yang dipenuhi dengan kucing jalanan manja dan rumah kedai berbumbung merah. Selain itu, terdapat karya daripada Dem yang membayangkan seniman sebagai burung merpati terbang bebas, membesar dan melebarkan sayap dalam perjalanannya yang tersendiri." "MusEd\u201921 Martabatkan Pendidikan Seni Muzik Tempatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nShah Alam \u2013 \u00a0Sebagai usaha memartabatkan pendidikan muzik tempatan, Fakulti Muzik, Universiti Teknologi MARA dan Persatuan Pendidikan Muzik Malaysia bakal menganjurkan Persidangan Pendidikan Muzik Malaysia (MusEd\u201921) pada 20 hingga 22 Ogos 2021. Persidangan yang akan diadakan secara dalam talian itu merupakan platform terbaik bagi para pendidik muzik,\u00a0penyelidik, pentadbir, pelajar, pemuzik, dan pengamal industri untuk\u00a0membincangkan\u00a0idea, penemuan, inovasi dan amalan terbaik berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran muzik.\nMenurut Profesor Madya Dr. Ramona Mohd Tahir, Pengerusi MusEd\u201921, persidangan ini diadakan untuk\u00a0mengetengahkan idea inovatif, karya muzik terkini atau konsep yang dapat memberikan manfaat kepada bidang pendidikan muzik. Oleh hal yang demikian, para pengamal bidang pendidikan muzik, seperti guru muzik sekolah rendah dan menengah, guru muzik swasta, pentadbir, pelajar, pensyarah, penyelidik tempatan dan\u00a0antarabangsa, amat\u00a0digalakkan untuk turut serta dalam persidangan ini.\n\u201cAntara manfaat yang bakal diperoleh peserta persidangan ini termasuklah peluang menjalinkan hubungan dan jaringan, bukan sahaja dengan para pendidik muzik tempatan, bahkan dari seluruh dunia,\u201d kata Profesor Madya Dr. Ramona.\nPersidangan yang dianjurkan ini selama dua hari ini bertujuan untuk mendapatkan pengiktirafan dan sokongan umum terhadap muzik sebagai suatu bidang ilmu yang perlu diketahui, mempromosikan faedah dan kelebihan muzik, serta pendidikan seni muzik, seterusnya meraih sokongan terhadap pendidikan seni muzik ke arah meningkatkan tahap apresiasi muzik umum." "Perkataan \u201cBerutus\u201d dan \u201cMengutus\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nApakah perbezaan antara perkataan berutus dengan mengutus?\nAyat contoh:\nDaripada:\nHanizah Mohd. Yasin,\nMasjid Tanah, Melaka." "Hidupkan Kembali Tradisi Pasang Pelita Menjelang Aidilfitri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Terengganu \u2013 Amalan menghiasi halaman rumah dengan menyalakan pelita menjadi adat dan tradisi masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman setiap kali menjelangnya bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Pelita dipasang di sekeliling rumah dan di sepanjang jalan di kampung untuk menerangi dan menceriakan suasana pada waktu malam bagi menyambut ketibaan bulan Syawal. Kepelbagaian jenis pelita, hiasan dan kreativiti menggunakan bahan-bahan terbuang tradisional dan moden menambahkan keceriaan suasana.\nAtas dasar itu, kerajaan negeri Terengganu menganjurkan Program Pelita Raya Beautiful Terengganu 2021 bagi memeriahkan suasana perayaan Aidilfitri di negeri itu bermula 6 sehingga 11 Mei 2021. Walau bagaimanapun, pengunjung yang hadir untuk melihat kepelbagaian bentuk pelita di sini perlu mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.\nPenganjuran program Pelita Raya Beautiful Terengganu 2021 ini melibatkan lapan Pejabat Daerah di Terengganu dan dianjurkan oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu. Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program ini termasuklah Pertandingan kategori Foto Pelita Raya Beautiful Terengganu 2021 yang menawarkan hadiah berupa wang tunai terkumpul hampir RM1000.\nProgram Pelita Raya Beautiful Terengganu 2021 yang diadakan di Kampung Budaya Terengganu, Kompleks Muzium Negeri Terengganu ini merupakan inisiatif pihak kerajaan negeri untuk menghidupkan kembali tradisi menyalakan dan memasang pelita pada bulan Ramadan dan Syawal, seperti zaman dahulu." "Kuih Tradisional Tempatan Diancam Kepupusan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMalaysia sememangnya kaya dengan kepelbagaian budaya, cara hidup, adat, dan agama. Makanan tradisi merupakan satu faktor kepelbagaian dan warna-warni budaya yang terdapat dalam kalangan rakyat Malaysia. Sebagai contohnya, masyarakat Melayu terkenal dengan kuih, seperti kuih seri muka, kuih bom, karipap, lepat pisang, kuih bahulu, dan kuih koci. Manakala bagi masyarakat Cina pula, terkenal dengan kuih bulan dan kuih bakul. Bagi masyarakat India pula, terdapat makanan seperti vadai dan muruku.\nKuih tradisional di Malaysia menjadi satu identiti dan keunikan yang tidak terdapat di negara lain. Hal ini menjadi satu sumber tarikan pelancong yang dapat menarik minat orang luar untuk mengunjungi negara yang penuh dengan kepelbagaian budaya ini. Oleh hal yang demikian, agak memalukan bagi warganegara Malaysia jika tidak mengenali kuih tradisional kaum mereka sendiri. Kini, kuih tradisional semakin hilang dalam kalangan generasi baharu. Remaja pada hari ini kebanyakannya tidak mengenali kuih-muih tradisional, seperti kuih pulut panggang, kuih serabai dan lain-lain. Sebagai persoalannya, mengapakah kuih tradisional di Malaysia semakin dilupakan dalam kalangan generasi baharu?\nTidak dapat disangkal lagi bahawa kemodenan yang berlaku pada hari ini telah membawa masuk banyak unsur budaya asing ke dalam diri sebahagian masyarakat, terutamanya golongan muda. Tidak perlu dilihat dengan jauh, dalam media sosial sahaja sudah penuh dengan unsur luar yang menyebabkan hilangnya jati diri dalam kalangan anak-anak muda. Hal ini dapat dilihat pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada tahun 2020 yang lalu, muncul satu makanan yang tular dan menjadi ikutan ramai, iaitu Kopi Dalgona, yang dipercayai berasal daripada negara luar.\nBukan itu sahaja, golongan muda pada hari ini sering didedahkan dengan makanan ala-ala Barat yang dianggap lebih mewah daripada kuih tradisional. Pemikiran mereka sudah dipengaruhi oleh perspektif yang melihat makanan seperti ini tampak lebih Begitu juga dengan kuih, rata-rata masyarakat Malaysia melihat kek coklat, brownies, tiramisu, kek krim keju dan lain-lain sebagai makanan yang mewah. Oleh hal yang demikian, kuih seperti ini sering digunakan sebagai pencuci mulut di hotel ternama, manakala kuih tradisi seperti kuih seri muka dan wajik semakin diabaikan.\nHal ini jelas menunjukkan bahawa kepupusan kuih tradisional tempatan ini adalah disebabkan oleh perspektif dan sikap masyarakat Malaysia terhadap makanan ini. Hal ini turut dijelaskan oleh Profesor Madya Dr. Shahrim Karim, Pakar Makanan Warisan Negara, bahawa seiring dengan perkembangan dunia masa ini yang mendedahkan kita kepada dunia luar, membuatkan masyarakat lebih gemar mencuba makanan moden, termasuklah kuih-muih, yang berasal dari luar.\n\u201cTidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa orang Melayu sendiri tidak berbangga dengan makanan warisan. Sebaiknya dalam budaya makanan, kita perlu mencontohi masyarakat Jepun yang sentiasa berbangga dan memperkasakan sajian warisan, meskipun bergelar negara maju. Kita lebih mengagungkan makanan luar sehinggakan tidak mengetahui nama atau jenis makanan yang ada, sekali gus terus dilupakan.\u201d\nDalam hal ini, bukanlah perkembangan dunia yang perlu dipersalahkan, tetapi sikap masyarakat terhadap makanan tradisi dan jati diri yang lemah dalam diri anak-anak muda. Mereka terlalu mengagungkan makanan Barat, tetapi tidak melihat keistimewaan makanan tradisi di Malaysia yang amat dikagumi oleh orang Barat, baik dari segi rasa, bentuk, dan cara pembuatan.\nOleh yang demikian, masyarakat Malaysia perlulah sedar tentang keunikan makanan dan kuih tradisi Malaysia. Hal ini terbukti dalam sebuah makalah yang bertajuk \u201cWestern Tourists Perception of Malaysian Gastronomic Products\u201d oleh Mohd Hairi Jalis, Mohd Salehuddin Mohd Zahari dan Muhammad Izzat dan Zulhan Othman, yang menunjukkan bahawa majoriti pelancong dari Barat memberikan respon positif kepada makanan Malaysia dan bersetuju bahawa makanan tradisional berupaya menjadi satu sumber tarikan pelancong.\nRakyat Malaysia pada hari ini, malangnya, tidak menyedari bahawa makanan tradisi Malaysia ini sebagai satu keunikan, sebaliknya sebagai adat yang ketinggalan zaman. Ramai yang tidak tahu cara-cara pembuatan kuih dan makanan tradisi yang terdapat dalam negara ini. Sebagai contohnya, kuih seperti bahulu amat menarik dari segi pembuatannya. Proses pembuatannya yang rumit sebenarnya penting untuk menjadikan kuih bahulu tersebut enak dan sedap dimakan.\nHal ini ditegaskan sendiri oleh Pensyarah Kanan, Jabatan Sosio-Budaya/Kesenian Melayu, Akademi Pengajian Melayu di Universiti Malaya, iaitu En. Ahmad Hakimi Khairuddin. Menurut beliau, proses memukul telur secara manual amat penting bagi membolehkan kuantiti udara masuk ke dalam ramuan dan menjadikan sajian berkenaan lembut di bahagian dalam. Penyediaan kuih dengan menggunakan ketuhar adalah kurang baik dan tidak memberikan hasil yang sama seperti kaedah tradisional.\nOleh hal yang demikian, apakah yang perlu dilakukan agar kuih tradisional Malaysia dapat dikekalkan dan dihargai oleh generasi akan datang? Peranan utamanya terletak pada setiap individu. Seorang individu, terutamanya dari kalangan muda, perlu mengurangkan penerimaan unsur luar, bukanlah menyingkirkannya secara penuh, tetapi hanya untuk menghargai unsur kebudayaan yang terdapat dalam negara sendiri.\nPeranan kedua terletak pada sistem pendidikan negara. Kementerian Pendidikan Malaysia seharusnya bertindak dengan lebih tegas dan proaktif untuk memastikan makanan tradisi, termasuklah kuih-muih tradisional, diterapkan dalam kandungan pengajaran di sekolah. Penerapan ini perlu bermula sejak sekolah rendah lagi. Hal ini dikatakan demikian kerana kanak-kanak pada umur ini lebih mudah menerima, berbanding dengan golongan dewasa.\nUsaha ini dapat dilakukan dengan memanfaatkan keluasan penggunaan media sosial pada hari ini. Pihak yang berminat sewajarnya memperkenalkan kuih tradisional melalui laman web atau mempromosikan kuih-muih tempatan secara dalam talian. Pelbagai aplikasi media sosial dapat dimanfaatkan, seperti Facebook, Instagram dan Tik Tok. Penggunaan media sosial sangat berkesan kerana masyarakat pada hari ini terdedah dengan aplikasi sedemikian.\nSebagai kesimpulannya, tidak dapat disangkalkan lagi bahawa kuih tradisional Malaysia sedang mengalami kepupusan. Hal ini dikatakan demikian kerana wujudnya unsur luar yang menyebabkan masyarakat Malaysia mula meninggalkan tinggalan tradisi nenek moyang mereka. Lemahnya jati diri masyarakat, terutamanya golongan muda, menyebabkan makanan tradisi dilihat sebagai sudah lapuk. Sikap dan perspektif yang negatif ini perlu diperbaik agar makanan tradisional Malaysia tidak pupus dan ketinggalan zaman. Titik tolak usaha ini terletak pada diri rakyat Malaysia itu sendiri dengan meletakkan kebanggaan mereka terhadap makanan dan kuih tradisi tempatan." "SAMBUTAN SEDERHANA HARI WESAK\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nOleh: Muhamad Hakimi Abd Rani\nHari Wesak tahun ini disambut secara sederhana dan dalam suasana norma baharu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pandemik COVID-19. Walaupun penganut agama Buddha tidak dapat hadir secara fizikal ke tokong, pihak rumah ibadat dan persatuan giat melakukan penstriman langsung sambutan tersebut melalui media sosial seperti Subang Jaya Buddhist Association dan Bandar Utama Buddhist Society.\nYang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah antara yang terawal memberikan ucapan kepada penganut Buddha. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut tidak ketinggalan mengucapkan selamat hari Wesak dengan memanfaatkan media sosial. Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique menyatakan bahawa perayaan itu disambut dengan aman dan harmoni selaras dengan amalan kebebasan beragama yang menjadi lambang perpaduan negara.\n\u201cPengamalan dan pembudayaan nilai-nilai murni dalam kehidupan masyarakat hari ini sewajarnya diperkukuhkan lagi ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19. \u201cMarilah kita bersama-sama bersatu hati memerangi COVID-19 ini tanpa garis pemisah. Dalam masa yang sama marilah kita memanfaatkan peluang dan kesempatan yang ada ini untuk menjiwai erti perpaduan yang sebenar,\u201d katanya.\nSementara itu, tokong-tokong Buddha di Pulau Pinang kebanyakannya hampir kosong memandangkan penganut tidak dibenarkan menyertai upacara sembahyang. Pihak berkuasa termasuk polis dilihat berada di Mahindarama Buddhist Temple bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP). Wakil tokong Dr Surya Dharamdass turut menggesa orang ramai agar mematuhi SOP dan meraikan sambutan Wesak di rumah memandangkan segala upacara keagamaan di tokong disiarkan secara maya." "Pesta Kaamatan Disambut Secara Maya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKerajaan Sabah telah melancarkan Kaamatan TV sebagai platform bagi menyambut Pesta Kaamatan pada tahun ini berikutan penularan wabak COVID-19. Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jeffrey Kitingan berkata bahawa beberapa aktiviti sepanjang pesta itu akan disiarkan secara digital melalui laman sosial dan kerjasama kerajaan negeri dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro.\nTambahnya lagi, Kaamatan TV itu dibuat oleh Jawatankuasa Teknikal dan Publisiti Pesta Kaamatan Sabah berdasarkan tema pesta Kamaatan tahun ini iaitu Kaamatan Tanpa Sempadan. Antara pengisian yang terdapat dalam Kaamatan TV ialah program \u201cSabah Top Influencer\u201d, majlis anugerah bagi menghargai bakat dan personaliti Sabah yang banyak menyumbang kepada negeri Sabah. Selain itu, Kaamatan TV juga akan menyiarkan program yang mengetengahkan informasi pendidikan sosio budaya dan tradisi masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus.\nPersiapan menyambut Pesta Kaamatan berjalan dengan lancar walaupun terdapat kekangan akibat penularan COVID-19. Pihak kerajaan Sabah berharap agar masyarakat di Sabah dapat mematuhi SOP dan memanfaatkan penggunaan laman sosial ketika menyambut Pesta Kaamatan." "Epistemologi Linguistik dalam Konteks Falsafah dan Pemikiran Alam Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nInstitut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) telah menganjurkan program Siri Syarahan ATMA yang telah diadakan pada 27 Mac 2021.\u00a0 Tajuk siri syarahan pada kali ini ialah \u201cEpistemologi Linguistik dalam Konteks Falsafah dan Pemikiran Alam Melayu\u201d. Program tersebut diadakan secara atas talian di Zoom.\nTujuan program tersebut diadakan adalah untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan tentang epistemologi linguistik dalam konteks falsafah dan pemikiran alam Melayu. Program tersebut menampilkan seorang ahli panel iaitu Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang juga merupakan Pengarah ATMA. Program itu disertai oleh ahli akademik dari dalam dan luar negara.\n\nPada peringkat pertama perbincangan, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menerangkan tentang asal usul epistemologi linguistik bahasa Melayu khususnya di Nusantara. Beliau menyatakan bahawa masyarakat kini tidak lagi mengambil berat tentang penggunaan bahasa Melayu secara tepat kerana mereka tidak menguasai tatabahasa bahasa Melayu. Masyarakat kini perlu mengambil tahu tentang sejarah bangsa supaya jati diri dapat dimantapkan.\nBeliau juga menyatakan bahawa bahasa merupakan identiti sesebuah bangsa. Jika sesebuah bangsa memartabatkan bahasa ibunda, maka bangsa itu akan menjadi maju dan mempunyai daya saing yang tinggi. Selain itu, bahasa juga merupakan wadah atau medium yang sangat penting bagi memastikan warisan kebudayaan sesebuah bangsa terus kekal. Hal ini demikian kerana kebudayaan warisan yang diperturunkan kepada generasi seterusnya dilakukan melalui medium lisan dan tulisan.\nProgram tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat. Semoga program seperti ini dapat diteruskan oleh ATMA untuk memberikan pendedahan dan ilmu kepada masyarakat." "Memahami Asal Usul Peribahasa Melayu \u201cBiar Mati Anak, Jangan Mati Adat\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPeribahasa Melayu \u201cbiar mati anak, jangan mati adat\u201d bermaksud pantang dan larangan melanggar adat nenek moyang; jika anak sendiri melanggar adat atau undang-undang dia mesti dihukum. Peribahasa ini mempunyai komunikasi tersirat di sebaliknya walaupun frasa yang digunakan dinyatakan secara berterus-terang. Hal ini dikatakan demikian kerana jika melihat dari sudut pandangan norma kehidupan, tidak ada ibu bapa di dunia ini yang mengehendaki anaknya mati hanya kerana melanggar adat resam. Namun begitu, ketersiratan makna di sebalik ungkapan peribahasa ini sebenarnya menggambarkan falsafah masyarakat Melayu ketika menterjemahkan perumpamaan bagi menunjukkan kepentingan menjaga adat (undang-undang).\nPeribahasa \u201cbiar mati anak, jangan mati adat\u201d jelas menunjukkan pengaruh tentang kewajipan pelaksanaan undang-undang terhadap orang yang bersalah melanggar undang-undang tidak kira statusnya, sama ada terdiri daripada ahli keluarga mahupun anak sendiri. Peribahasa ini sebenarnya mempunyai unsur tegas dalam pelaksanaan undang-undang, sama ada undang-undang tersebut ialah undang-undang awam, mahupun undang-undang yang telah ditetapkan oleh agama Islam. Kamus Dewan turut mendefinisikan adat sebagai peraturan yang sudah diamalkan sejak turun-temurun di dalam sesuatu masyarakat sehingga menjadi hukum dan peraturan yang harus dipatuhi (undang-undang). Adat juga merupakan sesuatu perkara yang selalu diamalkan sekian lama dalam sesebuah negeri dan dipatuhi oleh ahli-ahli masyarakatnya. Secara umumnya, adat boleh dirumuskan sebagai peraturan yang diamalkan dalam kehidupan sesebuah masyarakat di sesebuah tempat yang merangkumi nilai kebudayaan, norma masyarakat, kelaziman, undang-undang dan hukum-hakam.\nOleh hal yang demikian, adat dapat difahami sebagai undang-undang atau peraturan yang wajib dipatuhi oleh masyarakat dalam sesebuah negara\u00a0 atau negeri dan sesiapa yang melanggarnya perlu dihukum oleh pelaksana undang-undang yang dipertanggungjawabkan tidak kira pesalah tersebut terdiri daripada ahli keluarga ataupun anak sendiri. Peribahasa ini \u00a0pada dasarnya menunjukkan bahawa betapa masyarakat Melayu pada zaman dahulu mementingkan penjagaan adat resam, budaya dan agama. Tafsiran adat mempunyai maksud yang sangat luas, iaitu meliputi cara hidup dan budaya dalam kegiatan sosial, ekonomi, politik, dan kepercayaan beragama.\nSegala tingkah laku dan cara hidup dalam masyarakat haruslah mengikut adat yang telah ditetapkan dalam amalan masyarakat tersebut. Selain peraturan dan adat yang diamalkan dalam sesebuah masyarakat, orang Melayu juga amat mementingkan undang-undang yang ditetapkan dalam agama Islam. Hal ini dikatakan demikian kerana Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan \u201cMelayu\u201d sebagai seseorang yang lazimnya bertutur bahasa Melayu, menganut agama Islam dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan juga telah menetapkan bahawa agama Islam ialah agama rasmi persekutuan. Termaktubnya agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan adalah kerana unsur-unsur tradisi dan perluasan sejarah Tanah Melayu yang mengamalkan pemerintahan beraja.\nAgama Islam telah lama bertapak di\u00a0Tanah Melayu dan wujudnya tamadun Islam melalui\u00a0raja-raja Melayu Islam dan rakyatnya. Perkara ini telah memberi pengaruh besar kepada pembentukan perlembagaan yang seterusnya menjadikan Islam sebagai agama rasmi. Ciri-ciri Islam yang berpandukan al-Quran dan Hadis telah wujud dalam jiwa masyarakat Melayu dan menjadi asas kepada kelakuan dalam apa-apa jua bentuk tindakan, perhubungan, amalan nilai hidup dan pandangan. Segala suruhan dan tegahan daripada Allah SWT menjadi peraturan dan wajib dipatuhi demi menjamin kesejahteraan hidup.\nMelalui pandangan secara inkuisitif, kita perlu mempersoalkan kenapakah masyarakat Melayu pada zaman dahulu menggunakan peribahasa ini untuk menunjukkan kepentingan menjaga \u2018adat\u2019 ataupun undang-undang dalam kehidupan? Adakah orang Melayu pada zaman dahulu benar-benar merelakan anaknya mati daripada melanggar adat ataupun mempunyai maksud yang tersirat di sebalik pengungkapan peribahasa tersebut? Peribahasa \u2018biar mati anak, jangan mati adat\u2019 dikatakan muncul pada zaman prapenjajahan dan penggunaan \u2018adat\u2019 dalam peribahasa ini sebenarnya tidak terhad kepada maksud adat resam semata-mata tetapi merujuk juga pelaksanaan undang-undang Islam.\nPeribahasa yang sering diungkapkan oleh masyarakat Melayu ini pada asalnya merupakan peribahasa Aceh, iaitu Mate aneuk meupat jeurat, gadoh adat pat tamita yang bermaksud \u201cmati anak ada kuburnya, hilang adat di mana hendak digantikan\u201d. Peribahasa ini bermula daripada kisah pelaksanaan hukum Islam ke atas sesiapa sahaja tanpa mengira darjat oleh Sultan Iskandar Muda. Menurut sejarah, Sultan Iskandar Muda dikatakan menjatuhkan hukuman rejam sampai mati ke atas putera mahkota baginda yang bakal menggantikan tempatnya sebagai sultan, iaitu Meurah Pupok, kerana dituduh melakukan perbuatan zina. Oleh hal yang demikian, inti pati peribahasa yang diungkapkan ini sebenarnya melambangkan pelaksanaan undang-undang Islam yang adil tanpa mengira status kedudukan seseorang sama ada ahli keluarga ataupun anak kandung sendiri.\nDalam konteks peribahasa ini, maka jelaslah bahawa leksikal \u201cadat\u201d yang digunakan dalam peribahasa ini sebenarnya merujuk kepada maksud yang sangat luas, iaitu bukan sahaja merujuk kepada adat resam yang diamalkan sekian lama dalam masyarakat tetapi juga hukum-hukum atau undang-undang yang perlu dipatuhi dalam agama Islam. Oleh sebab itu, konsep peribahasa ini pada dasarnya menekankan kepentingan menjaga kedaulatan undang-undang dan seharusnya tidak dicabuli demi kepuasan nafsu dan kepentingan lain yang bersifat individu. Melalui analisis makna peribahasa ini juga, dapat diperhatikan bahawa masyarakat Melayu pada zaman dahulu sangat menjunjung tinggi adat resam dan mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan sehingga rela menyerahkan ahli keluarga dan anak kandung sendiri untuk dihukum oleh undang-undang jika mereka benar-benar melakukan kesalahan dan jenayah. Hal ini dikatakan demikian kerana \u2018adat\u2019 tersebut perlu sentiasa dijaga dan ditegakkan demi menjaga keamanan dan keharmonian hidup dalam masyarakat dan negara." "Agenda Memperkasa Sektor Pelancongan dan Kebudayaan dalam Mendepani COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nOleh: Muhamad Hakimi Abd Rani\nKuala Lumpur \u2013 Sektor pelancongan merupakan antara sumber pendapatan utama negara dan kini sedang berdepan dengan cabaran ketika negara berperang dengan wabak COVID-19. Oleh itu, pihak kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kini sedang giat membuat perancangan untuk merancakkan kembali sektor pelancongan sebaik sahaja wabak COVID-19 dapat dikawal. Antara inisiatif yang sedang dirangka oleh kerajaan ialah mempromosikan produk kraf tempatan.\nPromosi produk kraftangan itu dijalankan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan memfokuskan kepada produk kraftangan setiap negeri. Agensi itu juga akan membantu masyarakat untuk memberikan latihan dan elaun bagi mempelajari pembuatan produk kraftangan dan seterusnya melahirkan usahawan baharu pasca COVID-19. Selain itu, pihak kementerian juga memberikan bantuan kewangan kepada badan bukan kerajaan (NGO) penggiat seni untuk meneruskan kegiatan seni. Berikutan dengan situasi semasa, pihak kerajaan tidak membenarkan anak seni membuat persembahan secara langsung sebaliknya menggalakkan mereka mengadakan program secara atas talian.\nKerajaan mahu meningkatkan lagi hasil pendapatan negara melalui sektor pelancongan. Oleh itu, kerajaan telah melancarkan Dasar Pelancongan Negara pada tahun lepas yang memfokuskan kepada kelangsungan industri pelancongan dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terpilih utama di peringkat global. Dasar tersebut sudah pun dirancang oleh kerajaan sejak tahun 2017 lagi. \u00a0Antara inisiatif pihak kerajaan merancakkan semula industri pelancongan ialah mewujudkan zon pelaburan untuk projek pelancongan. Zon ini dijangka dapat meningkatkan kerjasama antara sektor awam dan swasta serta menarik lebih ramai pelabur dalam bidang teknologi digital sektor pelancongan.\nSelain itu, pihak kerajaan berhasrat mahu menjadikan Malaysia sebagai Top of The Mind Ecotourism Destination of the World. Hasrat ini mampu dicapai kerana Malaysia terkenal dengan kekayaan dan kelestarian sumber semula jadi yang boleh memacu ekonomi melalui ekopelancongan. Usaha ini selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Agenda 2030 dan Matlamat Pembangunan Lestari yang dilancarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.\nPeranan sektor pendidikan juga penting untuk memacu sektor pelancongan negara. Sektor pendidikan melalui sekolah dan institut pengajian tinggi perlu menawarkan lebih banyak bidang yang berkaitan dengan pelancongan seperti hospitaliti, chef, pengurusan pelancongan dan lain-lain lagi. Keadaan ini boleh membantu sektor pelancongan negara kerana negara mempunyai tenaga kerja yang terlatih dan cekap." "FINAS Buka Penyertaan Festival Filem Malaysia ke-31\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nOleh: Muhamad Hakimi Abd Rani\nPetaling Jaya \u2013 Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah membuka penyertaan filem tempatan yang layak bertanding dalam kategori\u00a0 yang telah ditetapkan untuk menyertai Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31). Penyertaan itu dibuka bermula dari 15 Jun 2021 hingga 15 Julai 2021.\nPenganjuran FFM31 yang dijangka berlangsung pada bulan oktober 2021 melibatkan penyertaan filem cereka berdasarkan kepada syarat yang telah ditetapkan oleh FINAS. Syarat pertama yang telah ditetapkan oleh FINAS ialah filem cereka itu mesti dikeluarkan di Malaysia dan mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem bagi tahun 2018, 2019, dan 2020 untuk tayangan di pawangam Malaysia dalam format DCP/35mm/format digital serta tempoh masa tayangan sekurang-kurangnya 60 minit. Syarat kedua ialah filem yang masih belum pernah menyertai Festival Filem Malaysia dan filem yang ditayangkan paa tahun 2018, 2019 dan 2020 sahaja. Syarat ketiga ialah pengeluar filem mesti mempunyai lesen pengeluaran filem dari FINAS, melainkan mereka yang dikecualikan di bawah seksyen 34A Akta FINAS 1981. Syarikat yang masih belum mendapat lesen walaupun sudah melakukan permohonan lesen tersebut boleh memberikan nombor rujukan fail FINAS yang berkenaan.\nSementara itu, kategori yang dipertandingkan dalam FFM31 terdiri daripada filem terbaik, pengarah terbaik, pengarah harapan, pelakon lelaki terbaik, pelakon wanita terbaik, pelakon pembantu lelaki terbaik, pelakon pembantu wanita terbaik, pelakon kanak-kanak terbaik, pelakon lelaki harapan, pelakon wanita harapan, lakon layar terbaik, cerita asal terbaik, sinematografi terbaik, penyunting terbaik, skor muzik asal terbaik, penataan seni terbaik, penataan bunyi terbaik, lagu tema terbaik, rekaan busana terbaik, kesan khas visual terbaik, tatarias terbaik dan poster terbaik.\nSyarat penyertaan dan muat turun borang penyertaan FFM31 ini boleh didapati menerusi pautan www.finas.gov.my/borang-penyertaan-ffm31." "Memperingati 50 Tahun Pemergian Nordin Ahmad\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nOleh: Muhamad Hakimi Abd Rani\nProgram memperingati 50 tahun pemergian pelakon terkenal, Nordin Ahmad telah diadakan melalui siaran facebook repair gambar lama pada 15 Jun 2021. Program itu diadakan hasil kerjasama suara senefilia dan saudagar reka. Bicara santai itu memfokuskan tentang perjalanan hidup dan karier seni allahyarham Nordin Ahmad sepanjang hayat beliau. Nordin Ahmad dilahirkan 4 Ogos 1929 di Kampung Kota, Permatang Pasir, Seberang Perai, Pulau Pinang. Beliau mendapat pendidikan di kampung halamannya.\nPenglibatan beliau dalam bidang seni bermula ketika beliau bekerja sebagai kerani di pengkalan tentera udara British di Seletar, Singapura pada tahun 1951. Atas dorongan rakannya, beliau mencuba nasib uji bakat yang diadakan di Utusan Melayu tetapi beliau gagal memikat hati pengarah, S. Ramanathan. Kemudian, Nordin Ahmad menerima tawaran bekerja sebagai buruh kasar di studio Malay Film Productions dengan harapan dapat menjadi pelakon. Beliau akhirnya muncul sebagai pelakon tambahan dalam filem Rayuan Sukma dan Juwita. Berkat kesabarannya, beliau kemudiannya muncul dalam sebagai pelakon utama dalam filem Permata di Perlimbahan tetapi filem itu tidak laris. Nama beliau kemudiannya tenggelam dan terpaksa menjadi pelakon tambahan semula. Namun begitu, beliau tidak berputus asa dan terus membaiki mutu lakonannya.\nSeniman negara, Tan Sri P. Ramlee menjadi insan yang bertanggungjawab yang mengangkat kembali nama Nordin Ahmad dalam persada seni menerusi filem Semerah Padi pada tahun 1956. Tan Sri P.Ramlee memberikan kepercayaan kepada Nordin Ahmad untuk memegang watak utama dalam filem itu dan hasilnya namanya sebaris dengan bintang ternama dalam industri. Nordin Ahmad kemudiannya berhijrah ke Cathay-Keris Filem dan terus mencipta nama dalam bidang seni. Nordin Ahmad terus mengukuhkan namanya sebagai pelakon terbaik menerusi filem Hang Jebat, Chuchu Datok Merah, dan Sri Mersing. Nordin Ahmad kemudiannya diberikan peluang untuk menjadi pengarah filem. Antara filem yang diarahkan oleh beliau ialah Wan Perkasa, Kaseh Ibu, Naga Tasek Chini, Play Boy, Kekasih, Si Murai, Nafsu Belia, Keranda Berdarah, Mat Lanun, dan Lubang Neraka.\nNordin Ahmad telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Besar Singapura akibat demam kuning pada usia 41 tahun. Nama Ahmad Nordin terus diingati dalam ingatan peminat kerana mutu lakonannya yang bermutu tinggi." "Melestarikan Seni Tanggam Melalui Replika Rumah Tradisional\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nOleh: Muhamad Hakimi Abd Rani\nKuala Lumpur \u2014 Seni tanggam merupakan salah satu daripada keunikan seni bina masyarakat Melayu. Tanggam merujuk kepada kaedah penyambungan kayu yang tidak menggunakan paku dalam seni bina masyarakat Melayu. Tanggam juga merupakan penciptaan dan identiti bitara orang Melayu dalam usaha mereka menghasilkan sesuatu kaedah kerangka bangunan kayu yang bermutu, teguh dan kaya dengan nilai keindahan.\nMasyarakat Melayu menggunakan seni tanggam untuk membina rumah dan membuat perabot pada suatu ketika dulu. Namun begitu, seni bina tanggam kini mulai diancam dengan kepupusan kerana tidak ramai lagi orang yang mampu untuk mengaplikasikan teknik tersebut. Walau bagaimanapun, masih ada individu yang mempunyai kemahiran untuk menghasilkan rumah tradisional, dan seorang daripadanya ialah Mohd Zain Abd Aziz.\nMohd Zain bukanlah pembuat rumah tradisional yang biasa sebaliknya beliau merupakan pembuat diorama atau replika rumah tradisional dalam bentuk berskala kecil. Beliau menghasilkan diorama rumah tradisional dengan menggunakan teknik yang sama untuk membuat rumah tradisional yang sebenar dengan berbekalkan pengalamannya hampir empat dekad dalam bidang pertukangan rumah.\nKini, Mohd Zain banyak menghasilkan replika rumah dan istana tradisional dengan bantuan Foo Loke Kee yang menyediakan tempat dan barangan keperluan. Replika hasil kerja tangan Mohd Zain mendapat perhatian pelbagai pihak, seperti di Muzium Negara dan juga pada peringkat antarabangsa, terutamanya di China. Bukan itu sahaja, hasil kerja tangan Mohd Zain turut mempunyai ramai peminat di negara itu.\nKisah kegigihan Mohd Zain dan Foo Loke Kee ini dapat diikuti secara penuh dalam majalah Dewan Budaya Bil.6/2021 yang diterbitkan pada bulan Jun 2021 ini." "Kuasa Bahasa sebagai Senjata Idea\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBahasa bukan sahaja dapat digunakan untuk menyatakan realiti tetapi juga dapat menyatakan pembohongan, kepalsuan dan fitnah atau ketidakbenaran. Harus kita ingat bahawa realiti yang dipaparkan melalui teks dengan menggunakan bahasa sebagai alat ialah realiti yang dikonstruksikan mengikut perspektif penulis.\nDengan menggunakan skemata dan pembingkaian, lewat pemilihan kosa kata, ungkapan dan ayat tertentu, penulisnya menulis sesuatu dengan niat agar khalayak\u00a0 dapat dipengaruhi dan dibentuk pemikiran mereka agar akhirnya menyokong pendirian yang dipaparkan. Lazim terjadi, berlaku penonjolan atau sebaliknya penafian dan pemaknaan tertentu terhadap sesuatu realiti.\nBahasa dapat menjadi instrumen ideologi. Melaluinya, pencipta teks menyebarkan pengaruh dan dominasinya bagi mempengaruhi khalayak.\nMedia, teks dan juga bahasa bukan lagi menjadi wilayah dan alat berkecuali kerana bahasa sudah dijadikan sebagai alat yang dimanipulasikan bagi memenuhi agenda dan tujuan tertentu.\nKita mungkin tidak menyedari bahawa berlaku unsur pemaksaan terhadap kita untuk menerima sesuatu idea, ideologi, dan pandangan melalui penggunaan bahasa, wacana dan naratif tertentu sehingga bahasa dan media menjadi instrumen dan kekuasaan hegemonik sehingga pemikiran khalayak dikuasainya.\nJelaslah, bahasa seperti juga pengetahuan dan ilmu mempunyai kuasa. Bagi penulis yang pintar dan terampil, menguasai teknik retorik dan penulisan, serta mahir dalam penulisan pasti sedar akan kuasa bahasa. Kuasa itulah yang dimanfaatkan sebaik-baik mungkin untuk mempengaruhi khalayak.\nKosa kata, ungkapan, ayat dan wacana tertentu yang berpaksikan fakta dan data tertentu menimbulkan kesan kuasa tertentu. Setiap kekuasaan selalu berusaha menghasilkan kebenaran, malah kebohongan tertentu, yang disebarkan melalui wacana dan naratif yang dibentuk oleh kuasa bahasa.\nKepintaran dan kemahiran penulis dalam menggunakan bahasa dan memanipulasikan fakta dan data akan memungkinkannya untuk menjadikan sesuatu isu dan pandangan lebih dominan, sedangkan wacana lain akan dipinggirkan dan dinyahkan, malah mungkin diselubungkan dan dipendamkan.\nDengan memanfaatkan unsur bahasa tertentu, wacana dominan secara tidak langsung mengetepikan dan meminggirkan wacana lain sehingga dianggap tidak penting dan utama.\nSesuatu wacana dan pandangan juga akan kelihatan lebih absah dan kukuh dengan penggunaan istilah, jargon, ungkapan dan alasan legal\u00a0 formal.\nMaksudnya, bahasa dan wacana yang dianggap absah ialah pernyataan yang didukung oleh alasan formal, berbau ilmiah dan ditunjangi oleh\u00a0 logos konkrit tertentu seperti testimoni, statistik, contoh, anekdot, dan pemetikan sumber yang dianggap berwibawa.\nSalah satu kekuatan bahasa jika dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan semahir mungkin ialah bahasa yang dapat mencipta cara berfikir tertentu yang dominan, yang dianggap benar, manakala yang lain dianggap salah, palsu dan tidak benar.\u00a0 Ya, sesungguhnya, bahasa dapat dijadikan wadah tentang cara nilai dan idea tertentu dipandang dominan dan benar sehingga akhirnya meresap ke dalam fikiran khalayak sehingga menjadi konsensus dan pemikiran kolektif.\nSeyogia diingatkan, terdapat beberapa strategi wacana yang dapat dimanfaatkan dari segi pemakaian bahasa untuk meminggirkan sesuatu idea, puak, kelompok atau pihak.\nPertama, penghalusan makna dengan menggunakan eufemisme. Teknik atau unsur ini digunakan bagi menjaga kesopanan dan norma dalam masyarakat untuk melembutkan kesan, sedangkan kesan lembut melalui hegemoni halus dengan penggunaan bahasa sopan mungkin lebih berbisa dan menyusup halus ke dalam fikiran bawah sedar.\nEufemisme banyak digunakan untuk menyatakan tindakan kelompok atau puak dominan dan berkuasa termasuklah oleh pemerintah terhadap golongan yang lemah sehingga dalam banyak hal unsur tersebut boleh bersifat memperdaya.\nKedua, pemakaian unsur disfemisme. Berbeza daripada eufemisme yang dapat mengakibatkan realiti menjadi halus dan menyebabkan realiti dikaburkan, disfemisme akan menyebabkan realiti menjadi kasar. Teknik atau unsur ini banyak digunakan golongan lemah, tidak dominan, terpinggir, dan rakyat biasa.\nUntuk menyerang golongan berkuasa dan pemerintah, lihat sahaja cara netizen mengungkapkan perasaan, kekecewaan dan kemarahan mereka terhadap pihak tertentu melalui media sosial.\nPerhatikan\u00a0 unsur disfemisme yang digunakan, serta label kasar dan keras yang dimanfaatkan ketika rakyat berdepan dengan krisis kesihatan dan ekonomi ketika ini.\nTernyata, bahasa dapat dijadikan sebagai senjata tajam oleh golongan yang lemah, tidak berdaya dan berasa dirinya tidak mendapat layanan adil atau dipinggirkan. Teliti sahaja isu yang banyak berkembang dalam masyarakat ketika ini termasuklah yang membabitkan isu politik, kesihatan, ekonomi, dan pelbagai bantuan lain yang berkaitan.\nSesuai dengan teknik propaganda, satu lagi unsur bahasa yang kita perlu lebih berhati-hati ialah pelabelan. Untuk sesuatu yang berniat jahat, akan menggunakan label atau ungkapan negatif, manakala untuk sesuatu yang baik akan menggunakan label positif.\nYang negatif itu bertujuan untuk mencemarkan dan merosakkan imej dan reputasi pihak yang menjadi sasaran, manakala yang positif pula untuk melukiskan citra dan reputasi positif.\nPertentangan duaan ini jelas dalam konteks penggunaan bahasa dan penciptaan wacana oleh dua puak yang saling bertentangan, termasuklah antara kerajaan dengan pembangkang ketika ini.\nOleh yang demikian, kita perlu terus berwaspada agar tidak mudah terjerat oleh penggunaan label, ungkapan, istilah dan kosa kata tertentu melalui bahasa yang dimanfaatkan penulis terbabit.\nStrategi dan unsur lain yang kerap juga dimanfaatkan ialah stereotaip, iaitu penggunaan sesuatu kata yang memperlihatkan sikap positif atau negatif bersabit dengan orang, puak, kelompok, kelas, ras dan parti politik tertentu.\nStereotaip ialah amalan representasi yang menggambarkan sesuatu dengan penuh prasangka, konotasi negatif dan subjektif. Stereotaip melalui penggunaan kata-kata tertentu jika digunakan secara tekal dan berlarutan pada akhirnya akan terpasak dalam fikiran dan minda pengguna bahasa dan khalayak.\nSesungguhnya, bahasa bukan sekadar alat tetapi mempunyai kuasa hegemoni tertentu. Jika digunakan dengan penuh kemahiran, melalui teknik tertentu, bahasa dapat dijadikan sebagai senjata untuk membentuk dan mempengaruhi fikiran khalayak sasaran. Untuk itu, kuasailah segala mekanisme dan unsur bahasa kerana bahasa di tangan mereka yang mahir akan menjadi senjata tajam dan begitu bermanfaat bagi memenuhi tujuan dan kepentingan tertentu.\n\u00a0\nDr. Jeniri Amir \u2212 Pengamat bahasa dan penganalisis politik yang merupakan Felow Kanan Majlis Profesor Negara." "Peranan Institusi Raja Dalam Pengembangan Ilmu dan Pembinaan Tamadun Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nDewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan program Bicara Cendekia yang telah diadakan pada 23 Jun 2021.\u00a0 Tajuk siri syarahan pada kali ini ialah \u201cPeranan Institusi Raja dalam Pengembangan Ilmu dan Pembinaan Tamadun Melayu\u201d. Program tersebut diadakan secara atas talian di Facebook DBP.\nTujuan program tersebut diadakan adalah untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan tentang Program tersebut menampilkan seorang ahli panel iaitu Profesor Emeritus Dato Dr. Asmah Haji Omar yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengelola DBP. Program itu disertai oleh ahli akademik dari dalam dan luar negara.\nPada peringkat pertama perbincangan, Profesor Emeritus Dato Dr. Asmah Haji Omar menerangkan tentang sejarah pengembangan bahasa Melayu khususnya di Nusantara. Beliau menyatakan bahawa istana memainkan peranan penting untuk mengembangkan bahasa Melayu melalui penulisan hikayat, syair, kitab agama dan lain-lain. Penulisan hikayat tersebut telah membina genre baharu dalam bahasa Melayu. Antara hikayat agung bahasa Melayu ialah Hikayat Merong Mahawangsa, Syair Sultan Maulana, Sulatus Salatin, Tuhfat al-Nafis, Gurindam Dua Belas, Bustan al-Katibin, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja Pasai dan lain-lain lagi.\nBeliau juga menyatakan bahawa pemerintah Melayu dahulu aktif menjalankan aktiviti penulisan khususnya hikayat sejarah kerajaan dan kitab agama kerana bahasa merupakan identiti sesebuah bangsa. Jika sesebuah bangsa memartabatkan bahasa ibunda, maka bangsa itu akan menjadi maju dan mempunyai daya saing yang tinggi. Selain itu, bahasa juga merupakan wadah atau medium yang sangat penting bagi memastikan warisan kebudayaan sesebuah bangsa terus kekal. Hal ini demikian kerana kebudayaan warisan yang diperturunkan kepada generasi seterusnya dilakukan melalui medium lisan dan tulisan.\nKetika negara ini mahu mencapai kemerdekaan, Raja-raja Melayu telah menulis Wasiat Raja Melayu dan antara isi kandungan wasiat itu ialah menjaga dan memartabatkan bahasa Melayu di negara tercinta ini. Pengucapan raja Melayu seharusnya dicontohi oleh masyarakat kerana bahasa yang digunakan mencerminkan ketinggian budi masyarakat. Antara satu matlamat utama penubuhan DBP yang diilhamkan oleh Profesor Diraja Dr. Ungku Abdul Aziz ialah beliau ingin mendidik \u00a0masyarakat menggunakan bahasa Melayu dengan tepat. Selain itu, beliau juga mahukan bahasa Melayu menjadi sebagai bahasa ilmu dan bahasa ekonomi yang mempunyai pengaruh besar di seantero dunia.\nProgram tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat. Semoga program seperti ini dapat diteruskan oleh DBP untuk memberikan pendedahan dan ilmu kepada masyarakat." "Kemandirian Anak Seni PKP 3.0\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSektor seni merupakan antara sektor yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan anak seni semakin terhimpit dengan tekanan kos sara hidup. Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) memohon kepada pihak kerajaan supaya membenarkan sektor seni dan kreatif beroperasi dalam tempoh pelaksanaan PKP 3.0.\nPengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan menyatakan bahawa langkah itu bertujuan untuk memastikan kelangsungan ekonomi dan kemandirian anak seni yang sangat terkesan dengan COVID-19. Tambah beliau lagi, industri ini sememangnya perlu berwaspada agar tidak dijangkiti dengan COVID-19 tetapi tidak semestinya tidak dibenarkan beroperasi. Hal ini demikian kerana sekiranya semua pemain industri mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh kerajaan, maka kegiatan seni boleh dijalankan dengan baik.\nBeliau juga menyatakan bahawa pihak kerajaan atau Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) perlu mengeluarkan SOP yang jelas agar anak seni boleh menjalankan semula kegiatan seni dan menjana ekonomi mereka dalam waktu yang mencabar ini. Beliau memohon kepada pihak kerajaan agar mempertimbangkan pemberian vaksin kepada anak seni agar mereka boleh menjalankan aktiviti seni dengan lancar." "Tourism Malaysia Memenangi Anugerah dalam World Media Festival\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHasil kolaborasi antara Tourism Malaysia, SHARP dan Chilli Pepper Films membuahkan kejayaan apabila memenangi\u00a0 Anugerah Khas bagi kategori \u201cBest Camerawork\u201d dalam World Media Festival yang ke-21. Bertempat di Hamburg, Jerman, festival tersebut memberikan anugerah khusus untuk menghargai kreativiti dalam media sepanjang tempoh 21 tahun, termasuklah penghasilan kreativiti dalam audiovisual, merangkumi cetakan dan dalam talian. Anugerah dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Television and Corporate Media Awards, dan Tourism and Travel Media Awards. Ekoran penularan pandemik COVID-19, para pemenang diumumkan secara dalam talian melalui laman web rasmi World Media Festival pada 6 Julai 2021.\nVideo bertajuk \u201cAmazing\u201d yang berdurasi dua minit setengah itu memenangi Anugerah Khas \u201cMagic Eye\u201d untuk kategori Best Camerawork. Individu yang menerajui kreativiti penghasilan video tersebut ialah pengarah filem, Mark Toia dari Chilli Pepper Films. Kreativiti video turut menggabungkan idea kreatif melalui projek usaha sama Tourism Malaysia dan SHARP yang dinamakan \u201cTruly Aquos 8K, Truly Asia Malaysia\u201d. Projek yang menonjolkan kreativiti dan kualiti terbaik ini merupakan yang pertama di Malaysia, yang merakam video menggunakan teknologi 8K. Selain itu, produksi kreatif juga berjaya mendapat tempat bersama-sama empat pemenang lain di bawah kategori Iklan untuk Anugerah Emas Intermedia-Globe 2021 bagi kategori Tourism and Travel Media. Video \u201cAmazing\u201d turut berkongsi pengiktirafan dengan empat video bertema lain dari Thailand, Jepun, dan Austria. Senarai penuh pemenang dipaparkan di Hall of Fame 2021 dalam laman web rasmi World Media Festival.\nMelihat kandungan video tersebut, \u201cAmazing\u201d memaparkan intipati sebenar Malaysia yang pelbagai warna, budaya dan kaum, di samping tarikan luar biasa yang ada di seluruh negara. Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Encik Zulkifly Md Said mengatakan, \u201cPengiktirafan ini tidak akan dapat dilakukan tanpa usaha dan bantuan semua orang yang terlibat. Kepada pasukan produksi, tahniah atas pencapaian yang wajar ini.\u201d Beliau juga berharap dapat mengadakan kolaborasi lebih lanjut dengan SHARP. \u201cMasih banyak tarikan di Malaysia yang perlu diketengahkan melalui lensa SHARP, terutama destinasi luar biasa, flora dan fauna yang memukau pandangan, dan sumber semula jadi yang asli, \u201d demikian kata Encik Zulkifly dalam menzahirkan harapannya.\nTimbalan Ketua Pegawai Eksekutif ASEAN SHARP dan Pengerusi SHARP Electronics Malaysia, Robert Wu pula menyatakan penghasilan video \u201cAmazing\u201d merupakan satu misi penting kerana video itu menjayakan kempen Visit Malaysia yang pertama kali dirakam dalam teknologi 8K. \u201cTeknologi 8K membolehkan resolusi ultrarealistik yang belum pernah dilakukan sebelumnya, yang menghasilkan semula gambar sehingga kelihatan hidup pada pandangan mata penonton. Pengalaman visual yang mendalam ini tiada duanya dan kami berasa bangga kerana diiktiraf dalam anugerah ini,\u201d kata Robert Wu. SHARP juga akan terus memberikan sokongan kepada Tourism Malaysia dengan menampilkan video pemenang penghargaan di seluruh rangkaian global SHARP melalui panel TV Aquos. Video \u201cAmazing\u201d yang mula ditayangkan di platform Youtube pada tahun lalu, kini sudah meraih 60 juta tontotan. Bagi yang belum menikmati video yang memenangi anugerah dalam World Media Festival ke-21, boleh kunjungi https://www.youtube.com/watch?v=2VgN8VdGuGk." "Mengapa Wanita Perlu Belajar Silat?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKelat bukan sebarang kelat,\nKelat mengkudu ada khasiatnya,\nSilat bukan sebarang silat,\nSilat Melayu kaya falsafahnya.\nSiri webinar Warisan Tidak Ketara anjuran Jabatan Warisan Negara hasil kolaborasi bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia merupakan suatu siri diskusi yang mengangkat dan memberikan pengetahuan tentang khazanah bangsa kepada masyarakat. Siri webinar ini bermula sejak 30 Mac yang lalu dan mengetengahkan pelbagai tema warisan negara seperti teater, perubatan tradisional, pantun, anyaman kraf dan banyak lagi. Siri kali ini membincangkan tentang peranan dan kehebatan srikandi dalam Dunia Persilatan Melayu.\nUmum mengetahui bahawa seni silat Melayu telah diiktiraf sebagai Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 12 Disember 2019. Hal ini membuka ruang yang lebih luas untuk mengembangkan seni silat dalam dan luar negara.\nPanel pertama, Bibi Aishah Golbal Shah telah mempelajari seni silat sejak berumur 9 tahun. Beliau yang kini merupakan Setiausaha Agung Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) mendapat didikan daripada ahli keluarganya sendiri dan kemudiannya mula menceburkan diri dalam acara silat olahraga dan silat persembahan.\nBeliau menyatakana bahawa golongan wanita khususnya gadis remaja masa kini perlu tahan lasak. Kaum Hawa boleh menyelamatkan diri dengan seni silat yang mempunyai seni dan teknik tersendiri tanpa perlu menggunakan banyak tenaga. Dengan teknik yang betul, serangan boleh ditumpukan pada bahagian anggota musuh yang lemah tanpa mengira keadaan fizik penyerang.\nZaharah Hatan mula mengenali seni silat sejak berumur 16 tahun. Panel kedua ini kini merupakan Ketua Dewan Srikandi Sunia Seni Silat Melayu Malaysia (DSSM) dan menjadikan ketangkasan Puteri Saadong sebagai inspirasi. Beliau menyatakan bahawa kepantasan dan kebijaksanaan Puteri Saadong wajar dicontohi wanita pada zaman ini. Beliau turut menambah Puteri Saadong mempunyai ketangkasan dan berani namun dalam masa yang sama, beliau bersikap lemah lembut. Sifat ini terzahir mengikut keperluan keadaan. Seni silat bukan sahaja boleh menjadi gaya hidup sihat tetapi silat juga boleh menjadi sebagai sumber kekuatan jiwa dan mental.\nPuteri Saadong, Tun Fatimah, Siti Zubaidah merupakan antara srikandi persilatan Melayu yang wajar diangkat ketokohannya. Golongan wanita di Malaysia tanpa mengira kaum perlu diberikan ruang yang luas untuk meneroka seni silat yang berasal dari Kepulauan Melayu terdiri dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Filipina Selatan dan Thailand Selatan.\nMeskipun seni silat Melayu sudah mula diterima masyarakat dunia seperti di Amerika Syarikat, Belanda, Jepun, masih terdapat sebahagian rakyat Malaysia yang masih ragu-ragu untuk mempelajari seni tersebut. Strategi dan promosi berterusan wajar dijalankan agar seni silat boleh berdiri seiring dengan seni bela lain dari luar negara. Siri webinar itu boleh diikuti melalui Facebook Jabatan Warisan Negara." "Platform Kelangsungan Program Seni Anak Perak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nProgram sembang santai FLASHBACK anjuran People of Remarkable Talents (PORT) kali ini menampilkan Chong Kok Tsong atau lebih mesra dikenali sebagai Jesmond Chong, seorang jurutera bunyi yang berpengalaman selama 21 tahun di dalam bidang rakaman muzik. Beliau yang juga pemilik Perfect Muzik Production @ Trinity Studio, merupakan anak jati Ipoh. Studio yang diasaskan beliau ini merupakan studio rakaman digital pertama di Ipoh.\nJesmond Chong menceburi industri muzik sebagai penyanyi utama kumpulan sekitar tahun 1992. Pada tahun 2005, beliau menubuhkan Brightone Production. Beliau telah menerima undangan dari Perak FM sebagai jurutera bunyi dari tahun 2012 sehingga tahun 2018.\nBeliau menyatakan bahawa kepesatan teknologi dalam sistem audio menyebabkan studio rakaman perlu lebih peka dan proaktif kerana i sesiapa sahaja boleh membuat rakaman sendiri di rumah pada masa ini. Namun begitu, proses mastering dan mixing sebaiknya dilakukan di studio oleh jurutera bunyi yang berpengalaman bagi menjadikan sesebuah lagu itu sempurna. Beliau turut menambah jurutera bunyi tidak hanya terlibat dalam pembikinan muzik album tetapi juga terlibat dalam proses alih suara untuk drama dan pembikinan OST filem.\nPORT dilihat aktif mengangkat dan memperkenalkan anak seni Ipoh kepada masyarakat melalui program dalam talian anjurannya. PORT yang diasaskan pada tahun 2011 merupakan jenama bagi Kampung Karyawan Amanjaya, sebuah agensi kebudayaan yang mendapat peruntukan sepenuhnya dari Kerajaan Negeri Perak.\nPORT menyediakan platform kepada belia Perak mengembangkan bakat dalam seni visual, persembahan, sastera dan banyak lagi melalui program bicara seni.\nSesi pertama telah berlangsung pada 2 Julai yang lalu melalui siaran langsung Instagram PORT Ipoh yang menampilkan jurugambar Takara Sakana yang berkongsi perjalanan seninya dalam bidang fotografi. PORT juga telah menjemput pemuzik; Jaja Noordin dan penggiat seni kraf; Nor Hazira Jalik pada sesi sebelum ini. Sesi yang berlangsung pada 15 Julai ini merupakan sesi keempat bagi slot Flashback bersama anak seni Ipoh. Sesi FLASHBACK itu akan berlangsung secara mingguan." "Animasi Kring! Memenangi Anugerah Antarabangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nProduk animasi tempatan, Kring! berjaya menambat hati juri apabila memenangi Cartoon Kids Award 2021 sempena Festival Internazionale del Cinema d\u2019 Animazione, del Fumetto e dei Games anjuran Cartoon Club. Penyampaian anugerah kepada para pemenang berlangsung pada 19 Julai 2021 di Teato degli Atti, Rimini, Itali. Majlis itu juga boleh ditonton melalui strim langsung di https://cartoonclub-channel.it/eventi-cartoonclub/.\nKring! merupakan sebuah animasi pendek, terbitan Brainy Bones Studios, sebuah syarikat yang menganggotai Malakat Eco Group. Pengarah Urusan Brainy Bones Studios, yang juga pengarah animasi Kring!, Hilmi Ismail menyatakan rasa syukur kerana sekali lagi Kring! dinobatkan sebagai pemenang anugerah peringkat antarabangsa. Sebelum ini, animasi Kring! diiktiraf dunia apabila berjaya meraih trofi Filem Animasi Terbaik dalam Festival Filem Antarabangsa Du Sur Les Handicap pada tahun 2020 di Lyon, Perancis. Pada tahun yang sama juga Kring! memenangi Anugerah Animasi Terbaik untuk Kanak-kanak di ReAnima Festivals, Norway. Anugerah lain yang tersenarai dalam rekod kejayaan Kring! ialah memenangi kategori animasi pendek menerusi Intellectual Property Creators Challenge (IPCC) pada tahun 2018, kategori Malaysia Next Generation menerusi Digicon6ASIA pada tahun 2019, selain terpilih sebagai \u201cOfficial Selection\u201d dalam 5th Animation Marathon pada tahun 2019, yang berlangsung di Athens, Greece. Cartoon Kids Award merupakan kejayaan keenam yang diraih oleh Kring! sejak animasi ini dipertontonkan kepada khalayaknya.\nAnimasi Kring! mengisahkan Cikgu Suraya, seorang guru sekolah rendah yang yang bersemangat membantu seorang pelajar bernama Mael bin Sulaiman yang mempunyai masalah disleksia. Disebabkan disleksia, Mael sukar memahami apa yang diajarkan oleh cikgu di kelas. Cikgu Suraya mencuba pelbagai cara untuk mengatasi masalah pembelajaran yang dihadapi oleh muridnya. Animasi Kring! yang berdurasi tujuh minit ini boleh ditonton dalam Youtube melalui pautan di sini. Rata-rata yang menonton Kring! mengakui animasi tanpa suara ini sangat menarik, dan kualitinya dikatakan setaraf animasi yang dihasilkan oleh syarikat animasi gergasi, Pixar Animation Studios." "Pantun: Warisan Peradaban Rumpun Melayu Nusantara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nUmum mengetahui bahawa pantun ialah khazanah silam yang amat bernilai, yang melambangkan kebijakan manusia bernama Melayu yang tinggi nilai sasteranya. Pantun juga merupakan salah satu genre asli kesusasteraan yang menjadi wahana bagi pengucapan dalam berbagai-bagai aktiviti yang mengisi ruang lingkup kehidupan masyarakat. Istimewanya pantun dapat merakam cara hidup dan aktiviti kehidupan yang dibayangkan dengan mengeksploitasi unsur alam yang melatari dan melingkungi persekitaran setempat. Hingga hari ini, pantun kekal memiliki nilai dokumentari yang tiada tandingannya.\nItulah antara inti pati penting yang dibicarakan dalam webinar \u201cPantun sebagai Peradaban Rumpun Melayu Nusantara\u201d yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook dan Youtube Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara, Melaka. Acara sempena mengisi sambutan pengiktirafan pantun sebagai warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 17 Disember 2020 ini turut ditunjangi oleh Sekretariat Dunia Melayu Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan Lembaga Bahasa Melayu Melaka, selain mendapat sokongan daripada Kerajaan Negeri Melaka dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.\nPerutusan oleh Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama\u00a0 Tun Seri Setia (Dr.) Haji\u00a0 Mohd. Ali Mohd. Rustam, Gubenur Kepulauan Riau, \u00a0Haji Ansar Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Melaka, Haji Mesran Mohd Yusop, dan Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka, Drs. Mohd. Nasruddin Rahman membuka acara webinar, yang kemudiannya disusuli dengan tayangan video pencalonan pantun untuk mendapat pengiktirafan UNESCO. Rakaman video pencalonan pantun itu dihasilkan secara bersama antara Malaysia dengan Indonesia, dan hasilnya pada 17 Disember 2020, pantun mendapat pengiktirafan UNESCO di bawah kategori warisan tidak ketara (warisan bukan benda).\nWebinar ini mengetengahkan tiga tokoh untuk membicarakan pantun dari sudut pandang masing-masing selaku tokoh yang bergulat dengan pembacaan dan kajian tentang pantun. Tiga tokoh tersebut ialah Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, Prof. Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan dan Prof. Madya Dato\u2019 Perdana Dr. H. Abdul Malik.\nSelaku Pengerusi Biro Sosio Budaya Dunia Melayu Dunia Islam, Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff mengulas persoalan, apakah yang dimaksudkan dengan pantun sebagai warisan peradaban Melayu di rumpun Nusantara? \u201cPantun ialah warisan seni budaya beraras tinggi dan suatu bentuk intelektual yang hanya ada di rumpun Melayu. Kebijakan orang Melayu dalam pantun terlihat melalui bentuk dan sifat pantun itu yang ringkas, pendek, padat dan tepat, selain terselit kiasan, sindiran, nasihat, ajaran dan pelbagai mesej yang masih relevan hingga hari ini. Itulah sebab mengapa pantun itu bukan sahaja perlu dikekalkan, malah harus diangkat sebagai warisan peradaban bernilai tinggi yang dimiliki oleh bangsa Melayu di rumpun Nusantara,\u201d demikian ulasan yang diberikan oleh Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff.\nProf. Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan pula menjelaskan nilai keindahan atau estetika yang terkandung dalam pantun. \u201cPantun suatu seni yang usianya cukup lama, yang asalnya daripada tradisi lisan. Menarik dan indahnya pantun itu bukan sahaja tergambar pada patah kata yang membentuk rangkapnya tetapi kerana mesej yang disampaikan melalui pantun itu seperti menasihat, mengajar, menegur, menyindir, dan menyatakan kasih sayang. Pendek kata, pantun melalui bahasa dan mesejnya cukup lengkap meliputi seluruh aspek kehidupan bangsa Melayu,\u201d demikian ujar Prof. Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.\nProf. Madya Dato\u2019 Perdana Dr. H. Abdul Malik pula menjelaskan amalan pantun di Indonesia, khususnya di Kepulauan Riau. Dalam bicaranya, beliau menyarankan penggemar dan pengkaji pantun merujuk buku Pantun-pantun Melayu Kuno dan Hikayat Inderaputra karangan Haji Ibrahim Abdullah. Dua rujukan itu sangat bagus untuk dijadikan panduan bagaimana mengarang pantun kerana penciptaan pantun memerlukan suatu kemahiran yang tinggi. Beliau menambah, orang Barat mengagumi pantun kerana bentuknya yang tidak lazim dalam kesusasteraan mereka, iaitu merujuk baris pembayang dan baris maksud pantun yang dilihat sebagai dua entiti yang berbeza. Prof. Madya Dato\u2019 Perdana Dr. H. Abdul Malik turut menyatakan bagaimana pantun dicipta mengikut perkembangan manusia, iaitu mengikut umur dan peringkat hidupnya. Maknanya, bermula dengan usia bayi hingga dewasa, sudah ada pantun mengiringi tahap kehidupan manusia. Misalnya, pantun mendodoikan bayi hinggalah pantun berumah tangga.\nDalam rumusannya, Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff mengharapkan semua pihak turut memainkan peranan dalam memartabatkan pantun sebagai warisan peradaban Melayu di Nusantara. Harapan beliau agar pewaris pantun yang masih ada pada hari ini dihargai dan dihimpunkan dalam satu acara untuk mendokumentasikan pengalaman dan ilmu mereka tentang pantun. Dalam konteks DBP pula, Prof. Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan menyatakan penelitian pantun terhasil dengan adanya buku Kurik Kundi Merah Saga yang merakam pantun lisan yang wujud sejak berzaman. Media sosial DBP juga kerap membuat hantaran pantun yang ternyata berjaya menarik pengikutnya turut berpantun dalam ruangan komen.\nYang menariknya, webinar ini dimeriahkan dengan lantunan pantun dan rakaman video lama seperti persembahan bongai bertajuk \u201cDodoi Anak\u201d, yang kalau tidak disiarkan mungkin tidak diketahui oleh generasi pada hari ini. Dengan menampilkan Ezlina Alias selaku moderator, yang juga Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Melaka, beliau mengakhiri webinar dengan serangkap pantun:\nMengkuang diinci di tepi surau,\nDianyam selerang bercorak-corak\nHajat di hati hendak ke pulau\nAda perahu berdayung tidak." "Seni Lukisan Batu Kuno Hima Diiktiraf Warisan Dunia UNESCO\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHima yang menyimpan kawasan penuh dengan seni lukisan batu antara terbesar di dunia, menjadi tapak keenam di Arab Saudi disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) seperti diumumkan badan itu, Sabtu lalu.\nTerletak di barat daya Arab Saudi, Hima memiliki 34 tapak sejarah termasuk prasasti dan perigi di sepanjang laluan yang pernah digunakan kafilah orang Arab Kuno yang berusia 7,000 tahun. Kawasan Kebudayaan Hima yang terletak di lokasi berbukit dan gersang itu, berdasarkan kenyataan UNESCO di laman webnya, mengandungi batu yang memaparkan lukisan mengenai gaya hidup masyarakat kuno ketika itu termasuk berburu, haiwan dan tumbuhan.\nKafilah pengembara dan tentera sering berkhemah di sekitar kawasan itu, meninggalkan lukisan dan petroglif di batuan sehingga akhir abad ke-20 tetapi tidak lekang sampai sekarang.\nInskripsi yang digunakan melibatkan pelbagai jenis tulisan termasuk Musnad, Aramaic-Nabatean, Arab Selatan, Yunani and Arab. Malah, Hima juga kaya dengan sumber arkeologi yang belum diterokai dan dicari gali lagi dalam bentuk batu tanda, struktur berbatu, makam, peralatan batu dan dinding purba.\nLokasi itu juga terletak di perhentian tertua yang diketahui kepada laluan kafilah dagang masyarakat kuno dengan telaga tertua sekurang-kurangnya 3,000 tahun, iaitu Bi\u2019r Hima yang sampai sekarang masih menghasilkan air tawar. Malah, Hima terus menjadi laluan kafilah selepas kedatangan Islam apabila digunakan oleh jemaah haji membabitkan umat Islam dari selatan.\nSementara itu, Menteri Kebudayaan Arab Saudi, Putera Badr bin Abdullah bin Farhan Al Saud dilaporkan mengalu-alukan penyenaraian Hima oleh UNESCO itu.\n\u201cNegara ini memiliki warisan peradaban yang kaya. Usaha untuk memperkenalkannya kepada dunia sudah membuahkan hasil,\u201d katanya seperti dipetik agensi berita Arab Saudi, SPA.\nPembukaan lokasi sejarah penting dalam peradaban manusia termasuk sebelum Islam itu menjadi antara usaha Arab Saudi menjadikan pelancongan antara sumber ekonomi negara, sekaligus mengurangkan pergantungan kepada hidrokarbon.\nPada tahun 2019, Arab Saudi mula mewujudkan visa pelancong buat kali pertama yang sebelum ini hanya mengehadkan kepada urusan tertentu sahaja seperti perniagaan dan haji serta umrah.\nSebelum Hima, lokasi lain disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO ialah Oasis Al Ahsa Oasis, sebagai Landskap Kebudayaan Berevolusi pada tahun 2018; Seni Lukisan Batu di Wilayah Hail (2015); Kota Bersejarah Jeddah yang menjadi \u2018pintu masuk\u2019 ke Makkah (2014); Daerah At-Turaif District di ad-Dir\u2019iyah (2010) dan Tapak Arkeologi Al-Hijr yang dikenali sebagai Madain Salih (2008).\nMadain Salih yang menjadi tapak pertama disenaraikan ialah tapak eskavasi terbesar tamadun Nabataean yang berada di luar Petra, Jordan yang memiliki 131 ruang makam dibina daripada bukit batu, tempat takungan air dan inskripsi termasuk daripada zaman pra-Nabataean. Bagaimanapun, makam itu tidak menyimpan sebarang mayat.\nKerajaan Nabataen ialah tamadun dengan wilayah di selatan Laut Merah hingga ke Hijaz bermula abad keempat sebelum Masihi hingga sekitar 106 selepas Masihi. Penyenaraian lokasi sejarah ini juga menjadi peralihan penting kepada Arab Saudi yang dalam sejarah modennya menyaksikan banyak kemusnahan dan pengabaian lokasi sejarah penting terutama yang pernah wujud sejak zaman Rasulullah SAW." "Ekpresi Seni Tujuh Dimensi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJika bertanya kepada remaja yang berusia belasan tahun, masih ramai yang berada dalam dunia mereka sendiri tetapi berbeza dengan Ngdawiyah Ismail. Beliau yang mesra disapa sebagai Gie telah memulakan perjalanan seni dengan melukis dan menjual lukisan potret seawal usia 15 tahun. Kejayaan Gie memenangi Hadiah Melukis Potret Peringkat Sekolah Peringkat Negeri Perak pada tahun 1990 telah menjadi titik tolak kepada beliau untuk bergiat secara aktif dalam bidang seni lukis.\nGie menyatakan bahawa darah seni sememangnya mengalir dalam dirinya kerana semenjak zaman persekolahan, beliau banyak menghabiskan masa untuk melukis. Tambahnya lagi, dia sentiasa mempunyai idea atau lakaran dalam mindanya untuk melahirkan perasaan melalui limpahan warna. Beliau mewarisi bakat seni lukis dari emaknya dan belajar tentang teknik lukisan juga dari emaknya.\u00a0Sebaik sahaja melangkah masuk ke satu sudut di dapur rumah di Kubang Batang, Pasir Mas, tetamu pasti terpegun melihat lukisan di dinding, lantai dan siling di rumah tersebut. Lukisan ala 7D (tujuh dimensi) itu memaparkan watak daripada sebuah buku yang berjudul, \u201cHikayat Kota Dewa\u201d hasil tulisan Faran Yusof. Beliau mengambil masa selama dua bulan untuk menyiapkan lukisan tujuh dimensi tersebut. Lukisan yang dipaparkan di dinding enam penjuru, lantai dan siling kelihatan seperti \u201chidup\u201d. Gie berterima kasih kepada sahabatnya, Zuraida Awang kerana memberikan kepercayaan dan kebenaran kepada beliau untuk melukis lukisan tersebut di rumahnya. Hasil daripada lukisan tersebut, timbulnya idea untuk membuat muzium tujuh dimensi pertama di Malaysia hasil adaptasi buku \u201cHikayat Kota Dewa\u201d.\nMereka telah bekerjasama dengan Faran Yusof yang juga merupakan penulis novel tersebut untuk menjayakan projek tersebut. Cabaran utama projek itu ialah menghasilkan 313 watak karakter purba dalam novel tersebut dalam bentuk lukisan. Sepanjang proses tersebut berjalan, Gie perlu membaca dan memahami dahulu seluruh alur penceritaan novel tersebut. Selepas itu, beliau menghasilkan sinopsis inti pati ringkas setiap bab dalam novel tersebut dan mula melakar watak karakter itu. Selepas selesai proses lakaran itu, Gie akan membuat alur penceritaan sebelum dipindahkan dalam bentuk lukisan.\nProses penghasilan watak dalam novel tersebut mempunyai cabarannya yang tersendiri. Sebagai contoh, penulis novel tersebut memberikan cabaran kepada Gie untuk menghasilkan watak Tok Jubah yang sangat menakutkan daripada sehelai rambut. Gie akan menggunakan daya imaginasinya untuk mencipta dan menggambarkan watak Tok Jubah itu berdasarkan ciri-ciri yang ditulis dalam novel dan gambaran yang diberikan oleh Faran Yusof. Oleh itu, Gie mencipta watak Tok Jubah dengan tidak menampakkan mukanya dan wataknya dibina daripada rambut. Antara watak terawal yang dicipta oleh Gie ialah Tok Jubah dan Nagasari.\nPenghasilan watak bermula daripada watak yang mudah terlebih dahulu. Faran Yusof akan memberikan gambaran tentang watak itu kepada Gie. Proses penghasilan watak tersebut memerlukan daya imaginasi dan kemahiran berfikir aras tinggi kerana mahu menterjemahkannya dalam bentuk lukisan. Faran Yusof mahukan Gie mencipta watak yang lain daripada pengaruh luar seperti Hollywood dan lain-lain lagi. Oleh itu, Gie perlu bermain-main dengan daya imaginasinya bagi menghasilkan watak tersebut. Hasil lakaran watak tersebut akan dipamerkan dalam muzium sebagai bahan bukti dan rujukan untuk orang ramai melihat proses penghasilan satu-satu watak dalam \u201cHikayat Kota Dewa\u201d kerana ia merupakan permulaan pencetusnya kewujudan muzium tersebut.\nProses penghasilan watak tersebut mempunyai dua fasa iaitu proses lakaran dalam kertas dan mengunakan adobe photoshop. Proses ini memerlukan kemahiran melukis dan grafik yang baik bagi membolehkan watak tersebut dihasilkan dengan cantik. Selain itu, beliau mahukan muzium tersebut mempunyai keunikan tersendiri iaitu pelawat akan menggunakan semua deria dan pancaindera mereka apabila melawat muzium tersebut. Oleh itu, beliau perlu mencipta props yang sesuai dengan latar yang terdapat dalam novel tersebut bagi memaksimumkan penggunaan deria dan pancaindera pelawat.\nPengalaman beliau sepanjang melawat Eropah kira-kira dua bulan sangat berguna dalam mencipta konsep muzium tersebut. Muzium di Eropah menggunakan konsep penceritaan narator secara maya untuk menceritakan sesuatu sejarah kepada pelawat. Gie mahu menggunakan konsep itu dalam muzium tersebut untuk menarik perhatian masyarakat. Oleh itu, para peminat novel \u201cHikayat Kota Dewa\u201d dan peminat seni boleh menikmati pengalaman dan lukisan yang mengasyikkan dalam muzium tersebut." "Kelangsungan Hidup Anak Seni Kian Parah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKisah masyarakat sekali lagi menjadi fokus utama dalam program bual bicara Borak Rakyat anjuran Pusat Kebudayaan USIM. Pada saat gelombang ketiga COVID-19 melanda negara, dilaporkan ramai yang terkesan dan baru-baru ini banyak kes dikaitkan dengan tekanan emosi yang dialami oleh masyarakat. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 yang bermula pada bulan Mac 2020, displin kepatuhan semua pihak dalam usaha membendung penularan kes COVID-19 harus dipuji. Dengan penurunan kes COVID-19 secara konsisten seakan-akan memberi jiwa dan kehidupan baharu dengan harapan situasi kembali seperti sedia kala.\nNamun begitu, kini masyarakat sekali lagi berhadapan situasi getir dalam situasi pendemik yang kian meruncing dan membimbangkan. Situasi ini bukan sahaja terkesan oleh oleh mereka yang terlibat dalam sektor pekerjaan swasta, pelancongan, perhotelan, bekerja sendiri dan tidak terkecuali mereka yang terlibat dalam industry kreatif. Dalam siri kedua Borak Rakyat yang menampilkan insan seni tanah air Aziz M. Osman dan Khir Rahman sebagai panel jemputan, apabila ditebak persoalan \u201csurvival\u201c anak seni pada musim pandemik dan kekangan berkerja dalam industri kreatif, Aziz memulakan bicara dengan menyatakan bahawa industri kreatif turut menerima tempias apabila tidak dibenarkan mengadakan pengambaran dan sebarang penganjuran program hiburan tidak dibenarkan.\n\u201cAda yang menganggap anak seni atau artis terdiri dalam golongan elit, eksklusif, dan jika lantang bersuara, ada yang kurang senang kerana dikatakan kita sudah memiliki dan lebih berkemampuan jika dibandingkan dengan golongan atau mereka yang sepatutnya menerima bantuan\u201d. Tambahnya beliau melihat golongan anak seni ini dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu pencetus kreatif atau creator seperti pengarah, penulis skrip dan yang kedua iaitu pengamal industri seni terutamanya mereka yang bekerja di belakang tabir seperti krew, jurukamera, jurusolek artis dan sebagainya, mereka seolah terputus mata pencarian pada musim ini. Berlainan dengan creator, mereka masih mempunyai ruang untuk berkarya dan mencipta idea baharu untuk dijadikan sebagai konten.\nSebagai pelakon, penyanyi, pengarah, pelawak dan kini aktif sebagai pengacara Khir Rahman menyifatkan bahawa \u201csurvival\u201c\u00a0mengaitkan semua kerjaya seni termasuk penulis, pelukis, penulis skrip dan sebagainya. Anak seni dikaitkan dengan kerjaya berasaskan bakat. Dengan bakat tersebut, mereka membina kepercayaan masyarakat untuk memendengar, memerhati dan menonton secara visual melalui saluran media elektronik dan sebagainya. Baginya survival bukan perkara baharu yang dialami oleh anak seni, ianya telah berlaku sebelum musim pandemik di mana mereka perlu mencari ruang, peluang, mencipta nama untuk meletakkan nama dalam industri.\n\u201cAnak seni secara hakikatnya tidak diadili setimpal dengan hasil kerjanya. Namun disebabkan minat dan bakat mereka miliki kita lakukan dengan sebaiknya. Sebagai contoh, jika pelakon, mereka menerima bayaran secara sekali gus. Berbanding dengan penyanyi, komposer dan penulis lirik mereka menerima royalti. Walaupun nampak berbeza, namun semua pekerjaan seni yang lakukan perlu diikitiraf dan dihargai sebaiknya\u201d. Khir tidak menyangkal bahawa artis kita tinggi dengan sifat ihsan dan mereka bersungguh-sungguh dalam menyampaikan karya, kerana jika ada kerja atau tawaran akan ada pendapatan yang diperolehi.\u00a0 Namun tidak kurang juga artis atau anak seni yang tidak mempunyai kerja selama enam bulan dan segelintir masyarakat tidak tahu bagaimana mereka menghadapi getir hidup. Beliau terkilan dengan sikap segelintir pihak menganggap bahawa industri kreatif bukan bidang yang \u2018berkepentingan\u2019, baginya persepsi ini harus diubah sebaliknya melihat seni juga mendidik masyarakat dan anak-anak seni ini sedang bekerja untuk meneruskan kelangsungan hidup.\nDalam pada itu, kedua panel menyambut baik langkah strategik kerajaan dalam usaha memulih industri kreatif melalui dana yang disalurkan. Walaupun tidak menyeluruh namun sedikit sebanyak ianya memberi sinar dalam merancakkan kembali indistri kreatif tanah air. Perkongsian Borak Rakyat yang diadakan yang secara dalam talian mendapat maklum balas dan perhatian komuniti seni melalui soalan dan pandangan yang dikemukakan oleh pelayar Facebook turut dikongsi oleh hos.\u00a0 Borak Rakyat dengan slogan \u201cKritik Jangan Melulu, Borak Biar Berilmu\u201d bersiaran selama 1 jam 30 minit menggunakan aplikasi Zoom disiarkan secara langsung menerusi Facebook dan saluran YouTube rasmi Pusat Kebudayaan USIM." "Kepelbagaian Perspektif Kajian dalam Penyusunan Kamus\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBANGI \u2212 Dalam penyusunan kamus, pemilihan konteks, etnisiti, sains dan masyarakat\u00a0perlu diambil kira. Kesedaran tentang konteks dan etnisiti hendaklah berakar dalam aktiviti perkamusan.\nBahasa dan sains tidak dapat dipisahkan.\u00a0Begitu juga halnya dalam proses penyusunan kamus. Bidang sains dan etnik pelbagai bahasa dalam sesuatu masyarakat turut diambil kira.\nContohnya, etnik Brunei\u2212Melayu menggunakan bahasa Tagalog. Di Tidore pula, sultannya orang Tidore manakala penduduknya terdiri daripada orang Halmahera dan Papua. Kamus Melayu tertua pula disusun di Tidore dan Papua\u00a0sejak 500 tahun dahulu.\n\nDalam perkamusan dan empirisisme, data kajian lapangan, data pencarian web dan data kumpulan fokus diambil kira. Terdapat kamus dalam bentuk cetakan dan juga digital. Sumber data harus ditapis dan dinilai melalui prosedur yang ditetapkan.\nSelain itu, dalam penyusunan kamus, keaslian dan autensiti sumber data juga diambil kira. Contohnya, sumber data daripada sastera dalam kamus. Begitu juga dengan penyusunan dekoden dan kata yang sumbernya bukan daripada penutur asli kamus tersebut.\nKamus bahasa Inggeris misalnya, datanya diambil daripada \u00a0mereka yang bukan penutur asli bahasa Inggeris. Contohnya, Joseph Conrad merupakan penutur asli bahasa Poland, Christina Rossetti penutur asli bahasa Itali, dan Vladimir Nabokov pula ialah penutur asli bahasa Rusia.\nSementara bagi kamus Melayu pula, sumbernya juga daripada penutur bukan Melayu asli, iaitu daripada Nuruddin ar-Raniri (Bustan al-Salatin) yang merupakan penutur asli bahasa Arab manakala Arena Wati pula penutur asli bahasa Makassar.\n\u00a0\nTerdapat beberapa jenis kamus, antaranya ialah kamus nasional ekabahasa, kamus bahasa terancam (kamus minoriti) dan kamus besar. Ada perbezaan utama antara projek kamus bahasa besar dengan kamus bahasa yang terancam. Kamus bahasa terancam tidak diusahakan untuk mencari keuntungan dan berhadapan dengan sumber yang terhad dari segi masa, wang, staf dan ahli linguistik.\n\u00a0\n\u00a0\nKamus bahasa minoriti pula termasuklah Kamus Bahasa Ifugao dan Kamus Bahasa Semai\u00a0yang diterbitkan\u00a0pada tahun\u00a02007. Kamus nasional ekabahasa disusun mengikut tahap perencanaan kamus dan relevansi etnisti. Tahap perencanaan kamus dan relevansi etnisiti diambil kira berdasarkan pengguna kamus dan sumber data kamus.\nKamus Dewan Perdana merupakan \u00a0kamus besar yang mempunyai definisi kata yang lebih lengkap. Dalam proses penyusunan ini, korpus, konkordensi dan web diambil kira. Korpus DBP mengandungi data mentah daripada pelbagai sumber bercetak. Para penyusun kamus juga perlu merujuk sumber data yang lain seperti web dan Malay Concordance Project (MCP). Selain itu, \u00a0staf editorial turut bekerjasama dengan 45 orang pakar bidang untuk menyemak dan menambah entri.\n\u00a0\n\u201cKamus Dewan Perdana merupakan khazanah nasional yang mesti mencerminkan kompleksiti bahasa Melayu sebagai bahasa multietnik yang sudah 500 tahun muncul sebagai bahasa dunia. Penelitian harus berlandaskan prosedur yang sistematik dengan skeptisisme dan beretika. Penelitian itu mestilah berdasarkan data empirikal. Penyemakan yang mendalam tentang peraturan ini memungkinkan skop yang lebih luas untuk siasatan saintifik.\u201d\nDemikianlah antara penjelasan oleh\u00a0Profesor Antarabangsa Tersohor iaitu Prof. Emeritus Dr. James T. Collins\u00a0dalam syarahan beliau dengan tajuk \u201cKamus dan Etnisiti: Sains dan Masyarakat\u201d iaitu satu topik berkaitan membina kefahaman celik kamus dalam kalangan masyarakat mengenai serba serbi yang terlibat dalam pembuatan kamus dari segi proses penyusunannya. Syarahan yang diadakan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom pada pukul 10.00 pagi ini anjuran Institut Kajian Etnik (KITA-UKM)." "Alena Murang dan \u201cWarrior Spirit\u201d Membanggakan Negara dengan Anugerah Antarabangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPenyanyi dan pemain sape kelahiran Sarawak, Alena Murang mengharumkan nama negara apabila meraih dua anugerah berprestij dalam Anugerah Video Muzik Antarabangsa United Kingdom baru-baru ini. Dengan mempertaruhkan video muzik bertajuk \u201cWarrior Spirit\u201d, Alena dan pasukan produksi karya itu memenangi Anugerah Video Muzik Terbaik Asia dan Pasifik (Best Asia dan Pacific Music Video) dan Anugerah Penghargaan bagi Kategori Kostum Terbaik (Honourable Mention for Best Costume). Selain dua kejayaan itu, \u201cWarrior Spirit\u201d turut tercalon dalam separuh akhir untuk Anugerah Filem Terbaik yang bakal berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat.\nVideo muzik \u201cWarrior Spirit\u201d yang menonjolkan alunan muzik sape kontemporari diarahkan oleh Sarah Lois Dorai, yang turut mendapat kerjasama daripada Kanid Studio dan Project Room. \u201cPencalonan dalam festival antarabangsa dan kejayaan yang diraihnya menunjukkan masyarakat dunia menunjukkan minat terhadap penceritaan yang disampaikan melalui video muzik itu. Kami berharap lebih banyak filem dan suara daripada komuniti peribumi dapat ditonjolkan di pentas global pada masa hadapan,\u201d demikian kata Sarah selaku orang yang bertanggungjawab mengarahkan video tersebut.\nBagi Alena pula, \u201cWarrior Spirit\u201d menunjukkan kekuatan dalaman yang ada pada diri dan masyarakatnya yang berasal daripada darah pahlawan. Gadis kacukan Kelabit-Itali itu menggunakan muzik dan pembuatan filem sebagai platform untuk memberikan kesedaran mengenai warisan Borneo. \u201cMoyang saya, Balang Nganud merupakan pahlawan yang disegani dan terkenal dengan gelaran harimau yang mengapungkan kepala musuh di sungai. Meskipun tidak lagi mengamalkan amalan tersebut, kami mewarisi semangat, kesungguhan dan kekuatan mereka untuk berjuang bersama-sama. Saya percaya rakyat Malaysia dan masyarakat di serata dunia juga boleh menerapkan semangat pahlawan itu dalam diri mereka,\u201d katanya semasa ditanya tentang inspirasinya berkarya. Keseluruhan elemen dalam video, meliputi muzik, tarian dan kostum mengambil inspirasi daripada kepelbagaian budaya yang terdapat di Borneo, terutama di Sarawak.\nMenteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah turut mengucapkan tahniah kepada Alena dan pengarah videonya, Sarah Lois Dorai atas kejayaan yang membanggakan rakyat Sarawak. \u201cAlena dan sepupunya Sarah membuatkan kami bangga dengan meletakkan Sarawak, dan Malaysia, di pentas muzik antarabangsa, yang sangat kompetitif. Kejayaan mereka itu menunjukkan bahawa artis Sarawak mampu menggunakan muzik dan pembuatan filem kreatif untuk mempamerkan warisan Sarawak yang unik dan bernilai tinggi,\u201d demikian kata\u00a0 Datuk Abdul Karim setelah diberitahu kejayaan yang diraih oleh Alena. Video muzik \u201cWarrior Spirit\u201d dihasilkan dengan papan cerita yang menarik, sehingga berjaya menangkap imaginasi penonton mengenai betapa kayanya Sarawak dengan sejarah, budaya, seni dan tradisi.\nSebelum itu, video muzik yang menampilkan kebudayaan Sarawak itu telah menerima empat anugerah antarabangsa, iaitu Anugerah Khas Juri dalam Anugerah Filem Los Angeles, Video Muzik Terbaik dalam Anugerah Filem Antarabangsa Rome, Itali, Video Muzik Terbaik dalam Anugerah Filem Antarabangsa New York, dan Filem Etnografi Terbaik dalam Anugerah Filem Antarabangsa New York. Hingga kini, video muzik \u201cWarrior Spirit\u201d membanggakan negara dengan merangkul enam anugerah peringkat antarabangsa.\n\u201cWarrior Spirit\u201d sebenarnya salah satu daripada sebahagian naskhah yang terkandung dalam album Alena Murang yang berjudul \u201cSky Songs\u201d. Hingga kini, video muzik \u201cWarrior Spirit\u201d telah mendapat sejumlah 200 ribu tontonan sejak mula disiarkan di YouTube pada 27 Mei 2021. Video muzik berdurasi empat minit 21 saat itu boleh ditonton melalui pautan http://youtu.be/6qTxxtzlnSU." "Hubungan Malaysia-China Dalam Konteks Ketamadunan dari Zaman Bahari Hingga Zaman Kini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL) Universiti Malaysia Terengganu dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur telah menganjurkan program Syarahan Darul Iman yang telah diadakan pada 3 Ogos 2021.\u00a0 Tajuk siri syarahan pada kali ini ialah \u201cHubungan Malaysia-China dalam Konteks Ketamadunan dari Zaman Bahari Hingga Zaman Kini\u201d. Program tersebut diadakan secara atas talian di Cisco Webex dan Facebook PPAL UMT.\nTujuan program tersebut diadakan adalah untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan tentang hubungan Malaysia-China dalam konteks ketamadunan dari zaman bahari hingga zaman kini. Program tersebut menampilkan seorang ahli panel iaitu Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang juga merupakan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP. Program itu disertai oleh ahli akademik dari dalam dan luar negara.\nPada peringkat pertama perbincangan, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menerangkan tentang sejarah awal hubungan Alam Melayu dengan China. Beliau menyatakan bahawa hubungan tersebut sudah wujud sejak Dinasti Han lagi. Hubungan Alam Melayu dengan China menjadi lebih jelas ketika abad ketujuh Masihi semasa Dinasti Tang dan kerajaan Sriwijaya. Pada era pemerintahan Dinasti Ming, hubungan antara kerajaan China dan kesultanan Melayu Melaka menjadi lebih pesat. Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa perdagangan, pengajian agama Buddha, bahasa pemerintahan, dan lingua franca ketika era tersebut. Pada tahun 1405, Maharaja Ming telah menubuhkan akademi bahasa Si Yi Guan untuk melatih jurubahasa. Bahasa Melayu diletakkan di bawah Jabatan Bahasa-bahasa Islam dengan bahasa Arab, bahasa Parsi dan beberapa bahasa yang lain.\nPada peringkat kedua perbincangan pula membincangkan tentang penghijrahan masyarakat Cina ke Tanah Melayu. Penghijrahan itu berlaku disebabkan oleh golongan Cina bekerja di lombong bijih timah dan dibawa masuk oleh British. Sebelum mencapai kemerdekaan, masyarakat Cina dan India telah mendapat kewarganegaraan Tanah Melayu berdasarkan prinsip jus soli. Tanggal 31 Mei 1974, Malaysia dan China telah memeteraikan hubungan diplomatik dan hubungan itu terus dipertingkatkan. Hasilnya, China kini menjadi rakan dagang penting untuk Malaysia dan telah menyumbang perkembangan pesat ekonomi Malaysia. Hubungan itu bukan sahaja tertakluk pada ekonomi sahaja bahkan melibatkan pendidikan, kebudayaan, sosial dan bidang-bidang lain.\nProgram tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat. Semoga program seperti ini dapat diteruskan untuk memberikan pendedahan dan ilmu kepada masyarakat." "Bulan Muharam dan Tradisi Bubur Asyura\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMuharam merupakan bulan pertama dalam tahun Hijrah. \u201cMuharam\u201d bermaksud diharamkan, iaitu dalam bulan tersebut Allah SWT melarang berperang. Bulan ini mengingatkan umat Islam kepada dua perkara penting, iaitu satu daripada empat bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT dan peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah. Setiap kali tibanya bulan ini, umat Islam meraikan sambutan tahun baharu dengan pelbagai pengisian, seperti bacaan doa hujung tahun dan awal akhir tahun dan tradisi mengacau bubur asyura pada 9 dan 10 Muharam.\nUmat Islam di seluruh dunia akan mengerjakan ibadah puasa sunat tasu\u2019a dan asyura pada 9 dan 10 Muharam. Di Malaysia, selain berpuasa pada hari tersebut, kebanyakan orang Islam juga mengambil kesempatan untuk membuat bubur asyura. Bulan Muharam seolah-olah tidak lengkap tanpa kehadiran bubur asyura. Dari sudut bahasa, perkataan asyura dalam bahasa Arab bermaksud sepuluh, manakala dari segi istilahnya pula, asyura merujuk kepada tarikh 10 hari bulan, iaitu 10 Muharam.\nSejarah bubur asyura dikaitkan dengan pelbagai cerita yang diwarisi secara lisan daripada satu generasi kepada satu generasi. Ada cerita yang mengaitkan bubur asyura ini dengan peristiwa banjir besar semasa zaman Nabi Nuh dan ada pula yang mengaitkan bubur ini dengan perang Badar ketika zaman Rasulullah SAW. Walau bagaimanapun, cerita tersebut sekadar lisan tanpa sebarang bukti yang sahih.\nBubur asyura, sama seperti Namanya, mesti mempunyai 10 jenis ramuan. Jika tidak, bubur tersebut bukanlah bubur asyura. Terdapat pelbagai jenis hidangan tradisi Uniknya di Malaysia, bubur ini mempunyai ramuan dan resepi berbeza mengikut kawasan. Terdapat tiga jenis bubur asyura yang kebiasaannya menjadi hidangan tradisi masyarakat Melayu di negara kita, iaitu bubur asyura utara, bubur asyura pantai timur dan bubur asyura selatan. Bubur asyura utara teksturnya pekat dan kenyal serta mempunyai rasa yang manis kerana ramuannya mengandungi campuran beras, tepung, gula, kekacang, pisang, jagung dan pelbagai ubi-ubian. Bubur asyura jenis ini juga perlu dimasak dengan tempoh yang lama, seperti penyediaan dodol.\nManakala bubur asyura pandai timur atau sugho juga mempunyai teksturnya yang pekat dan kenyal, tetapi mempunyai rempah dan daging. Kedua-dua bubur ini menyerupai kuih dan boleh dipotong. Bubur asyura selatan pula berbeza sama sekali kerana teksturnya yang cair, seperti bubur lambuk, dan mempunyai pelbagai campuran ramuan seperti kekacang, sayuran dan daging. Walaupun ramuan semua bubur asyura tersebut berlainan, namun ketiga-tiganya dimasak secara bergotong-royong dalam kalangan masyarakat setempat.\nDi Kelantan, aktiviti memasak bubur asyura dikenali sebagai kuca suro, manakala di negeri Terengganu aktiviti ini dipanggil kucar sure. Walau apa-apa pun panggilannya, aktiviti memasak bubur asyura yang dijalankan secara gotong-royong ini mampu mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat. Tambahan pula, proses menyiapkan bubur ini mengambil masa yang agak lama membolehkan mereka yang terlibat bersembang dan berbual bagi menambahkan kemesraan antara satu sama lain.\nTradisi penyediaan bubur asyura ini juga sebagai rasa kesyukuran masyarakat orang Islam di Malaysia menyambut tahun baharu hijrah. Acara ini bukanlah acara wajib kerana ianya hanyalah sebagai tradisi dan kelaziman di Malaysia setiap kali tibanya bulan Muharam dan bukannya dituntut oleh agama. Sebaliknya, umat Islam digalakkan berpuasa sunat pada bulan Muharam, terutamanya pada 9 dan 10 Muharam sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud \u201cBerpuasa pada Hari Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.\u201d (Riwayat Ibnu Majah)\nWalaupun ada pihak yang mengaitkan bubur asyura ini sebagai amalan bidaah, namun sebenarnya tradisi mengacau bubur asyura mempunyai sisi pandang yang positif. Rewang atau gotong-royong ketika menyediakan bubur asyura merupakan antara gambaran nilai hidup masyarakat Melayu sejak sekian lamanya. Aktiviti yang memerlukan kerjasama yang erat akan mengukuhkan ikatan silaturahim sesama masyarakat. Seterusnya, agihan bubur asyura kepada masyarakat terutamanya golongan yang kurang berkemampuan ialah perbuatan yang baik dan terpuji. Malah dalam Islam sendiri, memberi sedekah dalam bentuk makanan kepada golongan yang memerlukan amatlah digalakkan sebagaimana sabda Rasulullah SAW, \u201cDaripada Abdullah ibnu Amru RA, seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW, Apakah amalan terbaik dalam Islam? Baginda bersabda, Memberi makan dan memberi salam kepada orang engkau kenal serta orang yang engkau tidak kenali.\u201d (Riwayat Bukhari dan Muslim).\nTradisi bubur asyura sememangnya tradisi yang perlu dipertahankan kerana terdapat pelbagai manfaat dapat diperoleh daripada acara tersebut. Namun begitu, jangan pula ada antara kita yang memperbesarkan tradisi ini sebagai satu kewajipan dalam bulan Muharam. Hal ini dikatakan demikian kerana aktiviti ini bukanlah amalan ibadah yang wajib, tetapi sekadar satu tradisi masyarakat di negara kita dalam usaha memeriahkan sambutan bulan Muharam. Sayangnya, pada tahun ini acara ini tidak dapat dijalankan secara bergotong-royong disebabkan negara masih berada dalam fasa perintah kawalan pergerakan. Namun begitu, ada juga pihak yang membuat secara kecil-kecilan dan diedarkan kepada orang ramai." "Keunikan Adat Berpukong Masyarakat Banjar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJohor Bahru \u2013 Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Johor (JKKNJ) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBP Wilayah Selatan) menganjurkan program Intelek Seni Seminar Kearifan Tempatan yang telah diadakan pada 15 Ogos 2021.\nTajuk siri syarahan pada kali ini ialah \u201cAdat Berpukong Masyarakat Banjar\u201d yang diadakan secara dalam talian menerusi Facebook JKKN Johor.\u00a0Program ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan tentang adat berpukong yang diamalkan oleh masyarakat Banjar kepada orang awam.\nProgram yang menampilkan Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Saipuddin Suliman; Pemangku Dekan Kolej Universiti Selatan, Johor Bahru sebagai ahli panel, manakala Encik Razid Sahran; Timbalan Pengarah DBP Wilayah Selatan sebagai moderator program. Program ini turut disertai oleh ahli akademik dari dalam dan luar negara.\nDalam sesi wacana ini, Prof. Madya Dr. Mohd Saipuddin menerangkan sejarah masyarakat Banjar di Malaysia. Beliau menyatakan bahawa adat dan tradisi masyarakat Banjar sudah mengalami saduran asimilasi daripada etnik Jawa dan Dayak. Mereka banyak mendiami di daerah Kerian, Perak.\nBeliau juga menerangkan dengan terperinci tentang adat perkahwinan masyarakat Banjar. Adat berpukong merupakan satu kaedah untuk membedung bayi yang diamalkan oleh masyarakat Banjar. Teknik itu dibuat bertujuan untuk memudahkan bayi tidur dengan cara menimang. Bayi yang ingin dipukung akan berada dalam kedudukan seperti sedang duduk di atas buaian. Bayi yang ditidurkan melalui posisi ini akan berasa lebih selesa jika bayi itu mengalami selsema.\nBeliau menambah, ketika ibu sedang menghayun buaian, berlakunya proses komunikasi bukan verbal antara ibu dengan anak melalui hubungan mata. Selain itu, teknik itu merupakan cara terbaik untuk memberikan susu botol kepada bayi. Hal ini demikian kerana bayi itu tidak tersedak disebabkan oleh bayi berada dalam posisi duduk. Adat itu seharusnya dipelihara oleh masyarakat kerana mempunyai kebaikannya yang tersendiri.\nProgram tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat. Semoga program seperti ini dapat diteruskan untuk memberikan pendedahan dan ilmu kepada masyarakat." "Cabaran dan Masa Depan Manuskrip Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) menganjurkan program webinar Melayu Citra Mahawangsa yang telah diadakan pada 17 Ogos 2021. Tajuk siri syarahan pada kali ini ialah \u201cCabaran dan Masa Depan Manuskrip Melayu\u201d yang diadakan secara dalam talian menerusi Facebook DBP dan ATMA. Program ini diadakan bertujuan untuk mendapatkan data dan maklumat tentang manuskrip Melayu yang terdapat di seluruh dunia.\nProgram tersebut dirasmikan oleh Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan selaku Pengerusi Lembaga Pengelola DBP merangkap Pengarah ATMA. Dalam ucapan perasmian itu, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menegaskan bahawa manuskrip Melayu merupakan perabadan Melayu yang meliputi akidah, syariah, perubatan, undang-undang, sejarah, perniagaan dan sebagainya. Oleh itu, beliau menyatakan bahawa pengkaji perlu mengkaji dan memelihara manuskrip tersebut supaya manuskrip itu dapat dimanfaatkan oleh masyarakat.\nBeliau menambah pelan tindakan yang bakal digubal ini dapat memberikan panduan kepada penyelidik muda untuk terus mengkaji dan memelihara manuskrip Melayu. Selain itu, webinar ini dapat mengenal pasti kekuatan dan membina jaringan perhubungan untuk memantapkan usaha ini. Program ini turut disertai oleh ahli akademik dari dalam dan luar negara. Webinar dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi pagi dan sesi petang. Sesi pagi menampilkan beberapa wakil dari agensi kerajaan manakala sesi petang pula menampilkan pakar bidang.\nWakil agensi kerajaan terdiri daripada Hairuladzhar Mohd Hamdi; Perpustakaan UMK, Ratnawati Sari Mohamad Amin; Perpustakaan Utama UM, Hasmida Saleh, Harianti Hussain; Perpustakaan USIM, Datuk Zainal Abidin Borhan; Yayasan Karyawan dan Dr. Munawar Holil dari Masyarakat Pernaskhahan Nusantara (MANASSA).\nSesi petang pula menampilkan wakil pakar bidang yang dihadiri oleh Dr. Ros Mahwati Ahmad Zakaria; Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu UKM, Prof. Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad; Ketua Jabatan Bahasa Melayu UPM; Prof. Dr. Titik Pudjiastuti; Universiti Indonesia, Dr. Noriah Mohamaed; Kluster Tarbiah dan Persuratan Islam, Nadwah Ilmuwan; ABIM dan Dr. Azhar Ibrahim dari National University of Singapore. Kedua-dua sesi ini membincangkan untuk mendapatkan maklumat dan data tentang manuskrip Melayu yang terdapat di seluruh dunia." "Menelusuri Jawi Pada Batu Bersurat Terengganu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Terengganu \u2013 Batu Bersurat Terengganu bertarikh 4 Rejab 702 Hijrah atau 22 Februari 1302 Masihi merupakan antara artifak sejarah yang penting dalam negara kerana batu ini merupakan bukti terawal kewujudan tulisan jawi dalam dunia Melayu di Asia Tenggara. Batu Bersurat Terengganu telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan pada 15 Julai 2010 di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645). Tulisan jawi juga telah diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2009 di bawah akta yang sama. Batu Bersurat Terengganu juga menerima pengiktirafan di bawah kategori Memory of the World International Register oleh pihak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESSCO) pada 31 Julai 2009. Pengiktirafan tersebut merupakan salah satu usaha bagi memastikan khazanah warisan berbentuk dokumentasi terus terpelihara untuk generasi akan datang.\nDalam usaha untuk melestarikan khazanah bangsa ini, Jabatan Warisan Negara menganjurkan satu webinar Warisan Tidak Ketara 2021 yang bertajuk \u201cMenelusuri Jawi Pada Batu Bersurat Terengganu\u201d secara dalam talian pada 17 Ogos 2021. Pengarah Jabatan Warisan Negara Zon Timur, Shukri Mohd Isa bertindak sebagai moderator dalam perbincangan ini bersama dengan dua orang ahli panel, iaitu Pakar dan Tokoh Akademik Bidang sejarah, Prof Emeritus Dr. Ahmat Adam dan Pengarah Warisan dunia, Jabatan Warisan Negara, Mohd Syahrin bin Abdullah.\nPada peringkat pertama perbincangan, ahli panel membincangkan sejarah tulisan jawi. Tulisan jawi tidak sama dengan tulisan arab kerana tulisan jawi hanya digunakan khusus untuk menulis perkataan dalam bahasa Melayu. Batu Bersurat Terengganu menggunakan tulisan jawi purba. Ciri-ciri tulisan jawi purba ialah tidak mementingkan vokal, ejaan yang tidak konsisten dan tiada titik huruf. Batu Bersurat Terengganu adalah sangat penting dalam pengkajian sejarah kerana kebenaran sejarah ditentukan oleh bukti yang sahih.\nMenurut cerita lisan orang tempatan, batu itu pada mulanya terbiar begitu sahaja dan diletakkan di hadapan surau sebagai tempat mengesat kaki. Namun, sebaik sahaja imam surau tersebut menyedari batu tersebut mempunyai tulisan jawi, batu itu dialihkan ke kawasan sungai Teresat. Batu itu mula dikaji oleh Major H. S. Patterson pada tahun 1922 apabila dia mencuba membaca tulisan jawi pada batu bersurat tersebut. Batu bersurat ini mempunyai empat muka batu bersurat yang mengandungi undang-undang, peraturan dan hukum syariat Islam.\nPengiktirafan Batu Bersurat Terengganu oleh UNESSCO sangat penting kerana mampu membantu mempromosikan khazanah sejarah secara meluas di peringkat antarabangsa. Khazanah warisan itu juga boleh menjadi produk pelancongan apabila kerajaan negeri Terengganu telah mewujudkan Memorial Batu Bersurat Terengganu yang telah siap dibina pada tahun 1991. Batu Bersurat Terengganu merupakan khazanah warisan bangsa yang perlu dipelihara agar generasi depan juga mampu melihatnya." "Budaya Membaca Tunjang Kegemilangan Bangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pada hari ini, 20 Ogos 2021 telah berlangsungnya Majlis Pelancaran Buku Dokumentasi yang bertajuk Tun Dr. Mahathir Mohamad: The Art of Statesmanship. Majlis pelancaran yang diadakan secara dalam talian dan boleh ditonton secara langsung menerusi\u00a0Facebook Yayasan Wiba Prima ini merupakan anjuran Yayasan Wiba Prima dengan kerjasama Yayasan Kepimpinan Perdana, Yayasan Hasanah, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Galeria Perdana Langkawi. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Tun. Dr. Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia. Ucapan perasmian itu dilaksanakan secara rakaman awal oleh Yayasan Wiba Prima dan Yayasan Kepimpinan Perdana.\nSejajar dengan peranan PNM yang bertanggungjawab sebagai agensi penyokong industri buku dalam negara demi memartabatkan ilmu dan budaya membaca di Malaysia, penganjuran majlis ini dilihat menjadi satu daripada wadah terbaik untuk menjalinkan hubungan kerjasama dengan pemain industri perbukuan negara, di samping sinergi berkesan yang efektif untuk memartabatkan industri penerbitan buku negara.\nSelain itu, antara objektif Majlis Pelancaran Buku Dokumentasi Tun Dr. Mahathir Mohamad: The Art of Statesmanship termasuklah untuk memberikan pendedahan tentang buku ini kepada masyarakat Malaysia melalui liputan media, mengumpulkan dana untuk tujuan penerbitan dan penyelidikan akan datang serta menyokong pembangunan industri perbukuan negara.\nMemetik sinopsis daripada buku dokumentasi tersebut, buku ini berkisar tentang Tun Dr. Mahathir Mohamad, iaitu Perdana Menteri Malaysia yang keempat dan yang paling lama berkhidmat, iaitu bermula dari 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003. Pemerhatian dan pembacaan beliau sangat luas sehingga dapat melakukan pelbagai perubahan untuk bangsa Melayu. Beliau mempunyai misi dan visi dalam menentukan hala tuju bangsa beliau sendiri sehingga digelar sebagai \u201cBapa Pemodenan Malaysia\u201d. \nTun Dr. Mahathir Mohamad juga telah membawa banyak perubahan kepada rakyat dan mengatur program untuk generasi yang membangunkan negara supaya setanding dengan mana-mana bangsa di dunia. Banyak kejayaan besar telah dicapai pada zaman pemerintahan beliau dari segi ekonomi, pendidikan, etika sosial, dan budaya hidup rakyat Malaysia, khususnya orang-orang Melayu dalam menghadapi era globalisasi dan liberalisasi abad ke-21, sehingga mendapat banyak pengiktirafan daripada pemimpin dunia. Artifak ini disimpan di Galeria Perdana Langkawi, Yayasan Kepimpinan Perdana dan Galeria Sri Perdana, Kuala Lumpur.\nPenerbitan buku dokumentasi Tun Dr. Mahathir Mohamad: The Art of Statesmanship telah melibatkan gerak kerja penyelidikan dan pendokumentasian artifak terpilih di Galeria Perdana Langkawi selama lebih setahun. Kerja-kerja penyelidikan untuk buku ini telah mendapat geran dan tajaan daripada Yayasan Hasanah dan akan dijual pada harga RM300 (termasuk penghantaran dalam Malaysia) hanya melalui Yayasan Wiba Prima. Kutipan jualan buku ini akan disalurkan untuk penerbitan dan penyelidikan Yayasan Wiba Prima pada masa akan datang." "Keunikan Sabah Citra Kepelbagaian Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan program Ambang Merdeka yang diadakan pada 22 \u2013 31 Ogos 2021. Tajuk siri syarahan pada kali ini ialah \u201cKeunikan Sabah Citra Kepelbagaian Malaysia\u201d. Program tersebut diadakan secara atas talian di Facebook DBP. Aninah Janang merupakan moderator program tersebut.\nTujuan program tersebut diadakan adalah untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan tentang keunikan kepelbagaian budaya Sabah kepada orang awam. Program tersebut menampilkan seorang orang ahli panel iaitu Profesor Madya Dr. Ramzah Dambul yang merupakan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaysia Sabah. Program itu disertai oleh ahli akademik dari dalam dan luar negara.\nPada peringkat pertama perbincangan, Profesor Madya Dr. Ramzah Dambul menerangkan tentang keunikan Sabah yang terkenal dengan kepelbagaian kebudayaan di Sabah. Beliau menjelaskan bahawa masyarakat berbilang etnik di Sabah hidup dengan harmoni dan mempunyai tali perpaduan yang erat. Selain itu, beliau menekankan tentang kepentingan elemen pendidikan yang memberikan pendedahan dan pengetahuan tentang kebudayaan kepada generasi muda. Beliau \u00a0menambah bahasa merupakan elemen yang penting dalam suatu kebudayaan. Bahasa memainkan peranan penting untuk memelihara kebudayaan kerana bahasa merupakan alat komunikasi yang penting dan digunakan untuk menjelaskan kebudayaan sesuatu etnik.\nBeliau memberikan contoh bahawa bahasa Kadazan Dusun akan pupus dalam jangka masa 30-50 tahun akan datang sekiranya bahasa itu tidak dipraktikkan dalam masyarakat. Antara faktor yang menyebabkan bahasa etnik \u00a0hilang dalam masyarakat ialah mereka mahu bertutur dalam bahasa arus perdana seperti bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. \u00a0Selain itu, beliau mahu masyarakat mewujudkan kebudayaan Malaysia agar semua lapisan masyarakat di negara ini mengetahui dan menghormati kebudayaan masing-masing. Beliau berharap agar masyarakat di Malaysia dapat mengekalkan dan memelihara kebudayaan masing-masing agar generasi akan datang dapat mewarisinya.\nProgram tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat. Semoga program seperti ini dapat diteruskan untuk memberikan pendedahan dan ilmu kepada masyarakat." "Masa Depan Industri Teater Negara \u201cKabur\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSeni teater merupakan satu seni yang rumit dan sukar. Teater menggabungkan beberapa cabang kesenian seperti tarian, nyanyian, lakonan dan muzik seni visual. Beberapa aspek penting diperlukan untuk menghasilkan satu pementasan teater yang bagus. Kemahiran penulisan kreatif diperlukan dalam teater untuk menghasilkan jalan cerita dan dialog yang menarik dan memberi kesan kepada penonton. Seni teater juga menggabungkan seni pengarahan, seni rekaan dan seni pertukangan dalam menghasilkan satu pementasan teater yang menetapi jalan cerita. Teater atau pementasan tradisional Melayu di Malaysia merupakan salah satu simbol budaya Melayu yang menjadi tarikan masyarakat kepada seni pementasan.\nPementasan teater Ola Bola the Musical telah diiktiraf oleh Tun Dr. Mahathir sebagai pementasan terbaik yang pernah dipentaskan. Teater tersebut merupakan naskah arahan Datin Dri Tiara Jacquelina telah disifatkan sebagai karja yang lebih baik daripada pementasan Miss Saigon iaitu sebuah pementasan yang paling berjaya di Broadway. Selain itu, pementasan teater Puteri Gunung Ledang juga merupakan antara karya yang terbaik. Teater yang dipentaskan pada Februari 2006 itu dibarisi dengan pelakon handalan, seperti Datin Sri Tiara Jacquelina, Stephen Rahman-Hughes, Adlin Aman Ramli, AC Mizal, dan ramai lagi bakat tanah air. Karya ini dihasilkan oleh gabungan mantab pengarah Zahim Albakri dan pengarah muzik Roslan Aziz memberi efek menarik kepada hasil pementasan.\nIndustri teater di Malaysia tidaklah berkembang pesat seperti teater di Broadway dan London di Amerika Syarikat berikutan beberapa kekangan yang dihadapi oleh penggiat seni tanah air. Kekurangan ini dapat dilihat apabila promosi yang dilakukan berkaitan dengan pementasan teater kurang mendapat sambutan umum. Dewan bahasa dan Pustaka serta Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara akan mengadakan festival teater setiap tahun. Pada tahun 2021, featival teater tidak diadakan akibat pandemik dan mungkin tahun-tahun akan datang juga menerima nasib yang sama. Selain itu, industri teater juga berdepan masalah berkaitan dengan politik apabila pihak kerajaan tidak mengiktiraf teater sebagai satu industri di negara ini sedangkan di negara-negara jiran, industri teater dilihat sebagai sesuatu yang simbolik kepada budaya masing-masing. Oleh sebab kerajaan tidak mengiktiraf teater, tiada pihak berwajib yang bertanggungjawab memantau masalah yang dihadapi oleh penggiat seni teater. Mereka seolah-olah dianaktirikan apabila pihak kementerian hanya menentingkan sektor pelancongan, sedangkan teater juga berupaya menjadi penarik kepada sektor pelancongan negara.\nDalam menempuh zaman yang serba moden yang semakin berkembang maju, kemunculan media elektronik dan panggung wayang yang banyak dibuka bak cendawan tumbuh selepas hujan telah mencantas perkembangan industri teater. Media elektronik seperti telefon pintar dan sebagainya dan panggung wayang yang menggunakan teknologi yang canggih menawarkan kualiti gambar yang memuaskan dan menarik masyarakat. Dibandingkan dengan pementasan teater yang dimainkan dan memerlukan imaginasi penonton untuk mentafsir jalan cerita dilihat agak sukar untuk menjadi tarikan pada masa kini. Namun begitu, boleh juga untuk diselitkan unsur teknologi seperti sistem bunyi\u00a0 atau sistem lampu namun ianya memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi yang dilihat agak sukar untuk dilaksanakan.\nIsu kekurangan infrastruktur juga menjadi penyumbang kepada kesukaran industri teater untuk berkembang. Dahulunya, teater berkembang pesat dan seringkali dimainkan di dewan-dewan pementasan seperti Panggung Drama di bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Akibat daripada pandemik yang melanda, banyak pementasan ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan yang melarang sebarang aktiviti berbentuk perhimpunan. Oleh itu, dewan tersebut tidak dapat digunakan untuk pementasan.\nKompleks Budaya Negara dahulunya menjadi tempat latihan dan pementasan teater tetapi telah dijadikan ASWARA. Selain itu, banyak pusat latihan terpaksa ditutup akibat daripada desakan industri yang kurang menerima sokongan pihak atasan dan penonton. Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara menyediakan panggung untuk penggiat teater, tetapi banyak kekurangan pada panggung tersebut seperti prasarana yang tidak lengkap. Panggung tersebut tidak mempunyai kemudahan kalis bunyi, bunyi bising dari luar akan mengganggu latihan dan pementasan berlangsung. Selain pencemaran bunyi, masalah kesesakan lalu lintas juga membuatkan panggung tersebut tidak sesuai untuk digunakan kerana mempunyai masalah tempat letak kereta. Istana Budaya merupakan lokasi strategik yang mempunyai prasarana yang lengkap dan selesa tetapi memerlukan kos yang tinggi untuk menyewa. Jarang sekali penonton ingin mengeluarkan ratusan ringgit untuk tiket pementasan teater. Oleh hal yang demikian, agak sukar penggiat seni untuk mendapatkan tempat di Istana Budaya pada masa sekarang.\nTeater melayu sering dikaitkan dengan persembahan yang berunsurkan bangsawan berlatarbelakangkan zaman dahulu kala yang menerapkan elemen peredaran masa. Teater yang dipentaskan juga menyelitkan budaya opera iaitu dengan selingan nyanyian dan tarian untuk menjadikan sesuatu persembahan itu menarik. Persembahan begitu semestinya menarik tetapi jika selalu dipentaskan plot yang sama maka penonton akan mula berasa bosan kerana sudah dapat menjangka pengakhiran. Selain itu, pada zaman dahulu, teater dijadikan sebagai hiburan di masa lapang dan juga sebagai alat perubahan sosial dan menerapkan propaganda semasa zaman Jepun. Jika dibandingkan dengan zaman sekarang, naskah karya yang leboh mementingkan plot yang terlalu biasa seperti percintaan antara dua darjat dan sebagainya. Hal ini juga membuatkan penonton semakin lama semakin tidak tertarik akan teater dan lebih menggemari karya lain.\nIndustri teater mempunyai stigma yang negatif dalam kalangan segelintir masyarakat. Ada yang mengatakan bahawa dengan menceburi bidang seni, susah hendak \u201ccari makan\u201c kerana pendapatan yang tidak menentu. Teater juga dicap sebagai sesuatu kerjaya yang tidak dapat menjamin masa hadapan. Perkara ini berbeza dengan industri seni pementasan di luar negara yang rata-rata penggiat seni di sana mempunyai peluang yang luas, bahkan dijadikan sebagai kerjaya seumur hidup. Hal ini terjadi kerana sokongan daripada masyarakat terhadap industri tersebut.\nWalaupun industri teater berdepan pelbagai cabaran, masih ada penggiat seni teater yang gah di Malaysia, seperti Nam Ron, Jit Murad, Ahmad Yatim, Roslina Khir dan ramai lagi. Industri teater ini boleh berkembang maju sekiranya masyarakat dan kerajaan memberikan sokongan penuh terhadap mereka yang terlibat. Dengan sokongan yang diberikan dapat memenuhi keperluan, sekali gus dapat mengembangkan industri seni hiburan tanah air dengan penghasilan karya agung berkualiti." "Keunikan Nyanyian Etnik Rungus\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu \u2013 \u00a0Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah telah menganjurkan program Kearifan Tempatan Sabah: Nyanyian Etnik Rungus yang diadakan pada 26 Ogos 2021. Tajuk siri syarahan pada kali ini ialah \u201cKearifan Tempatan Sabah: Nyanyian Etnik Rungus\u201d. Program tersebut diadakan secara atas talian di Facebook DBP.\nTujuan program tersebut diadakan adalah untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan tentang adat dan nyanyian yang diamalkan oleh masyarakat Rungus kepada orang awam. Program tersebut menampilkan seorang ahli panel iaitu Dr. Raymond Majumah. Program itu disertai oleh ahli akademik dari dalam dan luar negara.\nPada peringkat pertama perbincangan, Dr. Raymond Majumah menerangkan tentang sejarah masyarakat Rungus di Malaysia. Beliau menyatakan bahawa etnik Rungus banyak mendiami di bahagian utara Sabah terutama di Kawasan Kudat. Kota Marudu dan Pitas. Etnik Rungus dikategorikan sebagai salah satu daripada 40 etnik Kadazan Dusun oleh Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun kerana terdapat banyak persamaan dari segi kebudayaan. Beliau menerangkan dengan terperinci tentang ciri-ciri nyanyian etnik Rungus.\nAntara ciri-ciri nyanyian etnik Rungus ialah penggunaan padanan dalam nyanyian, menggunakan dua lapis ungkapan bahasa untuk maksud yang sama semasa nyanyian, banyak menggunakan istilah rinait dan alam kayangan, menggunakan unsur sumber alam seperti haiwan dan tumbuhan sebagai alat atau bahan kiasan dan tidak menggunakan iringan muzik. Contoh jenis lagu nyanyian Rungus ialah dhihohoi, ondi, sovolhi, rogima, lhumpatiw, suringgat, linsanon, sulangu, koligis, tonggipang, pasak badjong, antabhang, dan kalawot. \u00a0Adat itu seharusnya dipelihara oleh masyarakat kerana mempunyai kebaikan yang tersendiri.\nProgram tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat. Semoga program seperti ini dapat diteruskan untuk memberikan pendedahan dan ilmu kepada masyarakat." "Pantun Kembali Menjadi Siulan Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nApa guna berkain batik,\nKalau tidak memakai capal;\nApalah guna berbini cantik,\nKalau tak pandai menumbuk sambal.\nPantun klasik di atas telah dikongsikan lebih daripada 8000 kali, mendapat lebih daripada 4000 komen dan mendapat 26 000 tanda suka sejak dimuat naik di laman Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 15 Oktober 2020. Pantun empat kerat tersebut tular dan mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat tanpa mengenal usia. Bukan sahaja masyarakat awam, serangkap pantun itu juga menarik perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Petaling, Pulau Pinang, Syerleena Abdul Rashid apabila menyifatkan pantun itu bersifat \u201cmisogyny\u201d, iaitu berpandangan jelik terhadap wanita yang sangat memualkan dalam Twitter miliknya.\nSelain beliau, kebanyakan masyarakat terutamanya kaum wanita turut mengecam dan menyindir pantun tersebut kerana mereka beranggapan bahawa pantun tersebut seolah-olah merendahkan martabat wanita sedangkan pantun merupakan sastera lisan yang penuh dengan simboliknya dalam menyampaikan sesuatu maksud.\nPantun Melayu telah pun wujud sejak 800 tahun yang lampau hasil kajian yang dijalankan oleh Profesor Diraja Ungku Aziz. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pantun didefinisikan sebagai sejenis puisi lama yang biasanya terdiri daripada empat baris dalam tiap rangkap, iaitu dua baris pertama merupakan pembayang dan selainnya mengandungi maksud. Menurut Pendeta Za\u2018ba, pantun ialah nama karangan berangkap yang terbahagi kepada dua, iaitu bahagian pertamanya membayangkan maksud dengan isyarat bunyi dan bahagian keduanya mengandungi maksud itu serta berjodoh bunyinya dengan bahagian yang pertama tadi.\nMenurut A.H Edrus dalam buku yang dikarang oleh Amat Juhari Moain yang bertajuk Pemilihan Kata dalam Pantun Melayu, pantun ialah karangan berangkap yang betul-betul hak atau kepunyaan orang Melayu. Hal ini demikian kerana pantun merupakan satu bentuk manifestasi masyarakat Melayu untuk mencurahkan hasrat hati, pandangan, nasihat, pengajaran dan sindiran antara satu sama lain. Bahkan, menurut penceramah yang juga Naib Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental, Ustaz Mohd Noor Derus, salah satu kunci untuk tadabur al-Quran ialah masyarakat perlu lebih dekat dengan sastera Melayu seperti pantun dan syair.\nDBP sebagai badan kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan di negara kita acap kali mengadakan pertandingan mencipta pantun. Namun begitu, sambutannya sekadar dalam lingkungan masyarakat yang sememangnya gemar membaca dan mengikuti laman rasmi Facebook (FB) DBP sahaja. Walau bagaimanapun, sejak tahun ini, usaha untuk memuat naik pantun klasik dan peribahasa Melayu secara berkala dilihat mampu menghidupkan kembali budaya berpantun dalam kehidupan seharian masyarakat kita.\nBuktinya, dalam hantaran yang dimuat naik di FB DBP, pelbagai rangkap pantun dicipta oleh pengikut FB itu bagi membalas pantun yang dimuat naik oleh pihak DBP. Hal ini membuktikan seni berpantun masih wujud dalam diri masyarakat Malaysia walaupun tidaklah sebaik penciptaan pantun terdahulu yang penuh dengan mesejnya yang tersurat. Pantun masih lagi mempunyai tarikan dan keunikannya yang tersendiri walaupun kita kini berada di dunia berteknologi. Bak kata pepatah, \u201cTak lekang dek panas tak lapuk dek hujan\u201d. Gara-gara serangkap pantun yang tular tersebut, aplikasi perniagaan dalam talian yang terkenal di negara kita, iaitu Shopee, turut menggunakan pantun dalam mempromosikan barangannya, iaitu pengisar elektrik. Pantun empat kerat tersebut berbunyi seperti yang berikut:\nApa guna berkain batik,\nKalau tidak memakai capal;\nKan dah ada pengisar elektrik,\nKalau hendak menumbuk sambal.\nSerangkap pantun klasik yang tular tersebut bukan sahaja menjadi polemik apabila pentafsiran yang menyentuh persoalan gender dikaitkan, bahkan didakwa mengandungi makna erotis. Hal ini demikian apabila muncul ciapan oleh seseorang di Twitter, yang menyatakan bahawa frasa \u201cmenumbuk sambal\u201d ditafsirkan sebagai hubungan intim dalam rumah tangga hingga ada dalam kalangan masyarakat terus berpandangan bahawa tafsiran itu sebagai satu dosa. Oleh itu, adakah tafsiran kebanyakan orang yang beranggapan bahawa pantun itu merendah-rendahkan kaum wanita tidak berdosa?\nPantun merupakan sastera lisan yang mempunyai pelbagai fungsi berdasarkan jenisnya. Menurut Alias Yunos dalam bukunya yang bertajuk, Pantun Melayu Sastera Ra\u2019ayat, pantun peringkat dewasa telah digunakan masyarakat secara meluas dan mempunyai pelbagai jenis iaitu:\nBuah betik buah bidara,\nDibawa orang ke tepi pantai;\nCantik cindai kain sutera,\nMengapa duduk di pajak gadai.\nSerangkap pantun klasik di atas digunakan untuk menyindir perbuatan seorang gadis yang mempunyai rupa paras yang cantik tetapi mempunyai tingkah laku yang buruk dan akhirnya dipandang rendah oleh masyarakat setempat. Pantun ini bukanlah semata-mata untuk menyindir gadis tersebut semata-mata tetapi bertujuan untuk mendidik si gadis tersebut agar memperbaik sifat dan peribadinya ke arah yang lebih baik. Hal ini demikian kerana orang-orang dahulu bukan sekadar suka-suka berpantun tetapi lebih kepada cara untuk melahirkan perasaan hati dengan memperlihatkan kehalusan budi pekerti. Buktinya, masyarakat terdahulu berpantun secara sindiran bagi memperbaik budi pekerti orang lain.\nBerbalik kepada pantun yang tular hingga menjadi polemik di negara kita, tafsiran \u201cmenumbuk sambal\u201d sebagai hubungan intim mungkin ada benarnya. Hal ini demikian kerana orang-orang dahulu begitu berhati-hati dalam memberikan teguran agar pihak yang ditegur tidak berkecil hati. Polemik ini terjadi apabila seseorang telah memuat naik tangkapan skrin jawapan oleh penulis tersohor negara, Nisah Haron, yang ditanya secara peribadi berkaitan dengan tafsiran dan maksud pantun tersebut.\nMenurut Nisah Haron yang turut mengulas isu itu di laman Facebook peribadinya, beliau tidak berniat untuk menjadikan jawapan tersebut secara terbuka kerana bimbang hal itu tidak sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat terutama \u00a0bagi sesiapa yang masih belum berumah tangga. Tambah beliau lagi, pantun klasik tersebut sebenarnya mempunyai tafsiran yang lebih mendalam, iaitu tentang tanggungjawab suami melayani isteri dengan sebaik-baiknya seperti cara Rasulullah SAW melayani isteri-isteri baginda.\nPantun sememangnya sastera Melayu yang penuh dengan sifat keintelektualannya dan bukanlah boleh ditafsirkan berdasarkan logik semata-mata. Polemik ini ada bagusnya kerana mampu membuka mata masyarakat Malaysia untuk menghayati keindahan pantun klasik terdahulu dan memahami tafsirannya berdasarkan pandangan para penulis tersohor negara. Mohamad Saleeh Rahamad, Pensyarah Kanan Jabatan Pegajian Media dan Komunikasi Universiti Malaya yang juga Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dalam pendapatnya yang tersiar di akhbar Sinar Harian pula menyatakan bahawa orang Melayu sebenarnya pemalu tetapi tegas dan tidak suka berterus-terang dalam menyampaikan sesuatu. Tambahnya lagi, sebaris kata daripada mulut orang Melayu mungkin membawa maksud yang tersirat seperti yang boleh kita perhatikan melalui pantun empat kerat yang tular tersebut. Sayangnya, situasi ini semakin hilang ditelan dek kemodenan arus semasa. Masyarakat kini terutama generasi muda terlalu berterus-terang hingga tiada lagi budi bahasa dalam setiap butir bicaranya.\nTuntasnya, usaha DBP memuat naik pantun klasik sebegini wajar diteruskan agar keindahan seninya tidak hilang. Walaupun wujud pelbagai kecaman dan sindiran sehingga pantun ini menjadi polemik, semakin banyak orang Malaysia gemar dan cuba-cuba untuk mencipta pantun. Anak-anak kecil pada masa ini dapat mengenali pantun melalui usaha Les\u2019Copaque Production Sendirian Berhad yang memasukkan elemen pantun dalam animasi Upin & Ipin melalui watak Jarjit. Oleh itu, sewajarnya lebih banyak syarikat penerbitan memasukkan elemen pantun dalam naskhah penerbitan masing-masing agar masyarakat lebih terdedah kepada keindahan, kebijaksanaan dan kreativiti pantun orang-orang dahulu. Sehubungan dengan itu, masyarakat tidak akan semberono mengulas pantun secara logik akal tanpa memikirkan maksudnya yang jauh lebih mendalam seperti tafsiran yang berkaitan dengan pantun yang tular tersebut." "Kuasa Dialek sebagai Pemberitahuan yang Berkesan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2013 Bahasa merupakan alat penyatuan masyarakat dan kaum, selain sebagai alat komunikasi. Oleh itu, sesebuah negara perlu mempunyai satu bahasa yang boleh difahami oleh semua rakyatnya, termasuklah negara kita, Malaysia, iaitu bahasa Melayu yang juga merupakan bahasa kebangsaan.\nSehubungan dengan itu, dalam suasana pandemik pada hari ini, bahasa sangat berperanan untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat tentang bahaya wabak COVID-19. Seseorang yang dijangkiti oleh virus itu perlu dimaklumkan dengan penggunaan bahasa yang boleh difahami dengan jelas dan berkesan.\n\nDalam situasi ini, bahasa Melayu memainkan peranan yang penting untuk menyedarkan masyarakat akan bahayanya pandemik ini. Penggunaan istilah yang berkaitan hal ini mula disebarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Kesihatan Malaysia. Contohnya, istilah \u201csocial distancing\u201d sudah ditukar menjadi penjarakan fizikal dan MCO sebagai perintah kawalan pergerakan.\nBahasa mempunyai pelbagai aspek termasuklah bahasa lisan, bahasa baku dan dialek. Bahasa sangat penting untuk menembusi masyarakat. Namun begitu, cabaran untuk menembusi masyarakat luar bandar khususnya bagi memberikan kefahaman tentang pelbagai istilah ini amat sukar pada peringkat awalnya. Oleh itu, antara inisiatif yang digunakan oleh kerajaan termasuklah penggunaan dialek.\nPenggunaan dialek di media sosial juga berjaya menyedarkan rakyat tentang bahaya penyakit ini. Dialek dipilih kerana dialek mempunyai semangat asabiyah, iaitu sifat kekitaan antara penutur, mudah mempengaruhi kerana keakraban bahasa dan penutur yang sama-sama satu dialek tidak mudah berasa tersinggung.\nOleh itu, dialek sangat penting dalam mempengaruhi pemahaman masyarakat tempatan. Satu dialek kurang sesuai jika digunakan di semua negeri. Contohnya, dialek Kedah tidak difahami oleh orang Perak. Begitu juga dengan dialek Perak yang \u00a0tidak difahami oleh orang Kedah. Dialek memainkan peranannya mengikut negeri masing-masing.\n\u201cSituasi pandemik COVID-19 di negara kita dalam keadaan yang sangat serius. Oleh itu, sebagai rakyat yang baik, kita perlu hormat-menghormati sesama kita tanpa mengira kaum dengan adab sopan melalui penggunaan bahasa yang baik dan dialek yang baik, khususnya melalui penggunaan media sosial\u201d.\nDemikianlah antara penerangan oleh YBhg. Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaludin, selaku ahli panel menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP yang bersiaran pada pukul 12.00 tengah hari tadi melalui \u201cRancangan Peka Bahasa: Kuasa Bahasa dan Pandemik\u201d bersama-sama Encik Ahmad Fedtri Yahya, selaku moderator." "Tikar Pandak Masyarakat Melayu di Kuala Pilah, Negeri Sembilan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNegeri Sembilan kaya dengan seni kraf tangan. Salah satu daripada seni kraf tangan di Negeri Sembilan yang masih bertahan dan mendapat perhatian masyarakat Negeri Sembilan, khususnya di Kuala Pilah, ialah tikar pandak.\nTikar pandak yang dihasilkan dan diperbuat daripada daun mengkuang atau daun palas telah berkembang dalam kalangan masyarakat Negeri Sembilan, khususnya masyarakat\u00a0 Melayu di Kuala Pilah, sejak dahulu lagi. Tikar pandak bukan sahaja dijadikan barangan keperluan perhiasan dinding di rumah, malahan digunakan dalam majlis-majlis perkahwinan, bertunang dan adat istiadat istana di Negeri Sembilan. Di samping itu, Tikar Pandak menjadi bahan wajib dalam masyarakat Melayu Negeri Sembilan yang mengamalkan adat perpatih.\nTikar pandak mempunyai dua saiz, yang berbeza, iaitu empat segi panjang dan empat segi tepat. Di bahagian atas Tikar Pandak tersebut dihiasi dengan pelbagai awan larat atau motif-motif supaya kelihatan lebih cantik dan menarik. Perubahan bentuk tikar pandak\u00a0 telah\u00a0 dikesan\u00a0 sejak\u00a0 zaman\u00a0 Neolitik\u00a0 hinggalah\u00a0 sekarang.\u00a0 Perubahan\u00a0 bentuk motif dan awan larat yang terdapat pada Tikar Pandak adalah dari segi saiz motif dan awan larat yang digunakan. Bentuk tikar pandak masa ini mengalami perubahan sesuai dengan peredaran zaman, \u00a0dihiasi \u00a0dengan \u00a0kain \u00a0baldu \u00a0dan \u00a0bukan \u00a0lagi \u00a0dianyam \u00a0dengan menggunakan daun mengkuang atau daun palas.\nTikar\u00a0pandak merupakan jenis tikar mengkuang yang paling awal dicipta, iaitu sejak zaman nenek moyang kita lagi. Tikar pandak dihasilkan berdasarkan bentuk empat segi tepat dan empat segi panjang. Bahagian atas tikar pandak pula ada yang berlapis sehingga dua dan tiga tingkat (bertingkat-tingkat) dihiasi dengan pelbagai motif agar kelihatan lebih menarik.\nDalam majlis perkahwinan di Negeri Sembilan, bagi yang mengamalkan adat perpatih, tikar pandak ini memainkan peranan yang amat penting. Semasa majlis akad nikah misalnya, pengantin \u00a0lelaki \u00a0hendaklah \u00a0duduk \u00a0diatas \u00a0tilam \u00a0kecil \u00a0yang beralaskan tikar pandak yang berbentuk empat segi panjang.\nDalam proses penghasilan tikar pandak, motif dan awan larat sememangnya dititikberatkan. Antara motif yang menjadi pilihan termasuklah motif tumbuh-tumbuhan, flora dan fauna. Motif tumbuh-tumbuhan lebih digemari berbanding dengan motif haiwan. Bahagian \u00a0tumbuh-tumbuhan yang \u00a0digunakan pula adalah seperti daun, buah, bunga dan akar.\nWalau\u00a0bagaimanapun, motif flora merupakan paling popular dan disukai. Motif flora kelihatan cukup menarik dan sesuai dijadikan sebagai perhiasan dinding. Antara motif flora dan fauna\u00a0 yang sering digunakan termasuklah lawi ayam, motif tampuk buah manggis dan pucuk rebung turut, yang menjadi pilihan bagi kebanyakan masyarakat di Negeri Sembilan." "Patriotisme dan Anak Seni\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan program Ambang Merdeka yang diadakan pada 22 \u2013 31 Ogos 2021. Tajuk siri perkongsian pada kali ini ialah \u201cPatriotisme dan Anak Seni\u201d. Program tersebut diadakan secara atas talian di Facebook DBP. Syafa Aziz merupakan moderator program tersebut.\nTujuan program tersebut diadakan adalah untuk menyemai dan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan orang awam. Program tersebut menampilkan seorang orang ahli panel iaitu Syamel yang merupakan penyanyi popular tanah air. Program itu disertai oleh ahli akademik dari dalam dan luar negara.\nPada peringkat pertama perbincangan, Syamel menerangkan tentang keunikan Malaysia yang mempunyai kepelbagaian kebudayaan dan hidup dengan harmoni. Selain itu, Malaysia juga terkenal dengan tempat pelancongan yang cantik dan kelazatan makanan yang mampu menarik perhatian ramai. Beliau menjelaskan bahawa artis perlu membawakan imej dan mesej yang positif kepada masyarakat seperti semangat cintakan negara, saling hormat-menghormati antara satu sama lain, bekerjasama dan lain-lain lagi. Beliau juga menambah karya kreatif mampu memperkenalkan negara di peringkat antarabangsa melalui lagu-lagu tradisional seperti Joget Malaysia dan filem yang menonjolkan elemen kebudayaan dan kesenian tempatan.\nSelain itu, beliau menyatakan lagu patriotik boleh memainkan peranan untuk membangkitkan dan menyemarakkan semangat patriotik menerusi penulisan lirik yang baik. Selain itu, penyusunan lagu patriotik yang mengikut peredaran zaman boleh menarik perhatian khususnya golongan muda. Hal ini demikian kerana mereka cenderung untuk mendengar rentak muzik yang terkini. Beliau berharap agar masyarakat di Malaysia dapat mengekalkan dan memelihara keharmonian agar generasi akan datang dapat mewarisi negara dalam keadaan yang stabil.\nProgram tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat. Semoga program seperti ini dapat diteruskan untuk memberikan pendedahan dan ilmu kepada masyarakat." "Keunikan Makanan Warisan Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMalaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan berbeza latar budaya mempunyai kepelbagaian makanan dan juadah warisan masing-masing. Selain pakaian, makanan juga dapat menggambarkan budaya dan identiti masyarakat setempat. Namun, makanan warisan kini semakin kurang dikenali dan diminati oleh anak muda Malaysia. Pada 29 Julai 2021, Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan Universitas Mercu Buana Yogyakarta, Indonesia telah menganjurkan webinar yang mengupas tentang Penjagaan Etika Budaya Lokal: Keunikan Makanan Warisan Malaysia.\nDalam webinar yang berlangsung secara dalam talian tersebut, Pensyarah Kanan FTV & Felo Penyelidikan UPSI, Dr. Mohd. Nazri Abdul Raji bertindak sebagai moderator bersama-sama dua orang penceramah, iaitu Dekan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Mohd Salehuddin Mohd Zahari sebagai panel pertama dan kurator Jabatan Warisan Negara (JWN) Zon Tengah, Jamilah Hani Esa sebagai panel kedua. Webinar ini mempunyai tiga topik perbincangan utama yang dibahagikan kepada tiga sesi, iaitu sesi pertama membincangkan pengenalan kepada makanan warisan Malaysia dan peranan agensi yang bertanggungjawab dalam memulihara makanan warisan. Sesi kedua pula membincangkan peranan pelajar dalam menghargai makanan warisan Malaysia manakala sesi terakhir merupakan sesi soal jawab.\nMenurut panel pertama, makanan warisan merupakan makanan yang dimakan pada masa lalu, mewakili nilai tradisional, berkaitan dengan keaslian, makanan tempatan dan mempunyai rasa yang berbeza. Panel kedua pula menyatakan bahawa menurut Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645), makanan warisan terangkum dalam warisan tak ketara dan secara umumnya makanan warisan didefinisikan sebagai makanan tradisional. Melalui webinar ini, penonton dapat mengetahui makanan warisan yang telah diwartakan seperti laksa, nasi lemak dan sebagainya. Menurut panel kedua, JWN telah merancang pelbagai program untuk melestarikan makanan warisan tetapi pandemik Covid-19 menyebabkan pelbagai program dan aktiviti\u00c2\u00a0 yang dirancang tersebut terpaksa ditangguhkan.\nWebinar keilmuan seperti ini seharusnya diperbanyak agar generasi muda dapat mengenali kepelbagaian makanan warisan yang ada di Malaysia. Makanan warisan merupakan antara budaya yang perlu dilestarikan agar tidak pupus dan hilang ditelan zaman. Selain webinar, pertandingan memasak bertemakan warisan makanan juga perlu diperbanyak sebagaimana Pertandingan Memasak bertemakan Makanan Warisan Lenggong-Minum Petang yang dianjurkan sempena Karnival Lenggong 2021 yang lepas." "Nama Laut Melayu Dalam Catatan Sejarah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMalaysia merupakan sebuah negara yang dikelilingi oleh kawasan lautan, iaitu meliputi hampir separuh daripada kawasan sempadannya. Keunikannya berbanding negara lain adalah dua wilayah utamanya iaitu Semenanjung Tanah Melayu Negeri Sarawak dan Sabah dipisahkan oleh sebuah lautan di tengah-tengahnya. Namun begitu, ramai yang tidak mengetahui bahawa lautan yang terletak antara Semenanjung Tanah Melayu dengan Sarawak dan Sabah sebenarnya mempunyai namanya yang tersendiri walaupun jarang digunakan pada hari ini, iaitu laut Melayu.\nBerdasarkan kepada seorang sarjana Barat bernama Gerald Randall Tibbetts yang banyak mengkaji teks-teks lama berbahasa Arab, rujukan kepada laut Melayu ada tertulis di dalam sebuah kitab lama Arab bertajuk \u2018Ajaib Al-Hind. Kitab berkenaan ditulis oleh seorang nakhoda berbangsa Parsi bernama Buzurg ibn Shahriyar dari Ramhormoz pada sekitar tahun 1000 masihi. Kitab berkenaan telah menghimpunkan pelbagai kisah keajaiban yang dipetik daripada para pelayar silam yang melibatkan pelbagai tempat seperti di Timur Tengah, tanah besar India dan China serta Nusantara.\nBerdasarkan terjemahan kitab berkenaan ke dalam bahasa Melayu yang telah diusahakan oleh Arsyad Mokhtar, salah satu kisah yang terdapat di dalam kitab tersebut ialah \u201cKapal Dilanda Taufan dan Lelaki Yang Menjadi Hamba Tawanan Perempuan di Sebuah Pulau\u201d. Kisah ini dinukilkan oleh seorang nakhoda bernama Abuz Zuhri Al-Barakhti dari negeri Siraf. Beliau menceritakan tentang sebuah kapal yang mengandungi pelbagai penumpang yang terdiri daripada pelbagai anutan agama dan tempat asal telah belayar ke laut Melayu. Sewaktu kapal tersebut menghampiri pinggir tanah besar China, angin kencang yang datang secara tiba-tiba menyebabkan kapal berkenaan tersesat ke titik bintang Suhail (Canopus). Setelah terkandas di lautan untuk tempoh seketika, anak-anak kapal berkenaan kemudiannya telah terdampar pula ke sebuah pulau yang kesemua penghuninya adalah terdiri daripada wanita. Penghuni pulau berkenaan kemudiannya telah menawan anak-anak kapal tersebut.\nNama laut Melayu juga ada tercatat lebih kurang 600 tahun kemudian, iaitu menerusi catatan seorang penulis berbangsa Portugis bernama Manuel Godinho de Er\u00e9dia. Beliau telah mencatatkan nama laut Melayu di dalam Declara\u00e7am de Malaca e da India Meridional com Cathay pada tahun 1613. Buku berkenaan mengandungi satu bab berkenaan dengan laut Malayo. Beliau mencatatkan bahawa laut Malaio terletak di antara tanah besar Ujontana (Hujung Tanah atau semenanjung Tanah Melayu) dengan Samatra (pulau Sumatera). Justeru itu, dapat disimpulkan bahawa laut Melayu yang dieja sebagai Malayo dan Malaio oleh Manuel Godinho de Er\u00e9dia di dalam buku berkenaan merujuk kepada kawasan selat Melaka pada hari ini.\nKewujudan nama laut Melayu pada era moden pula dapat dikesan menerusi nama laut Malayan. Nama laut Malayan telah tercatat di dalam buku bertajuk Tables of the Positions tulisan John Purdy dan The Oriental Navigator tulisan Jean-Baptiste-Nicolas-Denis d\u2019 Apr\u00e8s de Mannevillette dan John Purdy. Kedua-dua buku berkenaan telah diterbitkan pada tahun 1816. Berdasarkan buku tersebut, laut Malayan dinyatakan bermula dari garisan khatulistiwa hingga ke garis lintang 10 darjah utara termasuk juga teluk Siam. Manakala di bahagian atas laut Malayan pula adalah laut China yang bermula dari garisan 10 darjah utara hingga ke Taiwan atau Formosa.\nPada tahun 1821, seorang ahli hidrografi berbangsa British yang terkenal iaitu John William Norie telah menghasilkan peta bertajuk A New Chart of the China Sea, and East India Archipelago yang diterbitkan di London. Peta berkenaan memaparkan kawasan selatan China, Indo-China, Siam, Semenanjung Tanah Melayu serta pulau Sumatera, Jawa dan bahagian barat Borneo. Yang menariknya, di kawasan lautan yang terletak di antara Semenanjung Tanah Melayu dengan bahagian barat pulau Borneo, kawasan berkenaan telah ditandakan secara jelas dengan nama laut Malayan.\nManakala sebuah buku bertajuk \u2018Compendium of Modern Geography\u2019 yang diterbitkan pada tahun 1822 pula ada menyenaraikan senarai nama lautan dan teluk yang terdapat di benua Asia. Antara lautan yang dinyatakan terdapat di benua Asia termasuklah laut Malayan di samping lautan-lautan yang lain seperti laut Arab, laut China, lautan Hindi dan sebagainya.\nNama laut Malayan juga disebut dalam sebuah buku tulisan Samuel Augustus Mitchell bertajuk \u2018An Accompaniment to Mitchell\u2019s Map of the World\u2019 yang diterbitkan pada tahun 1838. Buku berkenaan turut ada menyebut nama Malaysia. Nama Malaysia yang dicatatkan di dalam buku-buku lama pada kurun ke-19 bukanlah merujuk kepada negara Malaysia moden seperti yang wujud pada hari ini, tetapi sebenarnya merujuk kepada kawasan gugusan kepulauan di Asia tenggara. Pada bahagian di bawah bab Oceanica, buku berkenaan menyatakan bahawa wilayah Oceanica merangkumi tiga bahagian utama iaitu Malaysia, Australasia dan Polynesia. Malaysia, yang disebut juga sebagai Oceanica timur laut, meliputi banyak pulau dan menghampiri benua besar Asia. Pulau-pulau berkenaan termasuklah Sumatera, Jawa, Borneo, kepulauan Sunda, Sulawesi, Maluku dan kepulauan rempah serta Filipina di samping pulau-pulau kecil yang lain. Nama Malaysia dinyatakan berasal dari orang-orang Melayu yang merupakan bangsa utama dan dominan di rantau ini. Manakala Malaysia dibatasi oleh laut Malayan di bahagian utaranya.\nPemakaian nama laut Melayu pada awal kurun ke-20 pula telah memperlihatkan perbezaan apabila menjadi satu nama lautan umum yang meliputi kawasan perairan yang jauh lebih luas dan bukan lagi merujuk kepada lautan yang terletak di antara semenanjung Tanah Melayu dengan bahagian barat pulau Borneo semata-mata. Perkara ini boleh dirujuk di dalam buku The World Almanac and Book of Facts yang diterbitkan pada tahun 1963. Berdasarkan buku berkenaan, laut Melayu dinyatakan menganjur seluas 3 114 056 batu persegi meliputi perairan di antara lautan Pasifik selatan dan lautan Hindi, selatan tanah besar China dan disekitar kepulauan Indonesia. Laut Melayu dinyatakan terdiri daripada lautan berikut iaitu Sulu, Sulawesi, Maluku, Halmahera, Seram, Banda, Arafura, Timor, Flores, Bali, Jawa, Savu dan China selatan. Juga meliputi teluk berikut iaitu Thailand, Tomini, Boni, dan selat berikut iaitu Melaka, Singapura dan Makassar.\nNamun begitu, mengapakah nama laut Melayu seolah-olah telah menghilang pada hari ini? Setakat ini, petunjuk yang dapat dijumpai adalah dalam buku Guinness Book of World Records bagi edisi tahun 1971. Buku rekod berkenaan menyatakan bahawa lautan terbesar adalah Laut China Selatan yang meliputi kawasan 1 148 500 batu persegi. Manakala Laut Malayan yang merangkumi kawasan perairan di antara lautan Hindi dan Pasifik Selatan, di selatan Tanah Besar China, meliputi 3 144 000 batu persegi, kini bukan lagi entiti yang diterima oleh International Hydrographic Bureau.\nBerdasarkan kepada catatan rekod yang dinyatakan di atas, jelas menunjukkan bahawa kawasan perairan di antara Semenanjung Tanah Melayu dengan negeri Sarawak dan Sabah pernah dipanggil sebagai laut Melayu atau laut Malayan. Bahkan kewujudan nama berkenaan turut diketahui oleh sejarawan tempatan. Perkara ini dapat dirujuk menerusi penulisan artikel bertajuk Ancient History of Malay\u2019 oleh seorang tokoh dari Johor, iaitu Mejar Dato\u2019 Mohd Said Sulaiman yang tersiar pada tahun 1954. Dalam penulisannya, beliau menyatakan harapan agar Royal Geographical Society di London dapat mempertimbangkan kewajaran untuk menamakan semula kawasan lautan di antara Semenanjung Tanah Melayu dengan Borneo sebagai laut Malayan berbanding sebahagian daripada laut China memandangkan tiada kaitan dengan China yang terletak jauh ke utara.\nMengambil kira tuntutan dan kepentingan geopolitik pada hari ini, sudah tiba masanya negara kita memulakan usaha bagi menyuburkan dan melestarikan kembali penggunaan nama laut berkenaan. Sebagai permulaan, inisiatif dapat dilakukan menerusi penggunaan nama laut Melayu atau laut Malayan bagi kawasan yang termasuk di dalam Zon Maritim Malaysia iaitu meliputi kawasan perairan, pelantar benua serta Zon Ekonomi Eksklusif negara kita. Penggunaan nama laut Melayu atau laut Malayan terhadap lautan berkenaan tidak perlu dipolemikkan kerana istilah \u201cMelayu\u201d pada masa dahulu bukan semata-mata merujuk kepada etnik Melayu sahaja, tetapi skopnya adalah lebih luas iaitu merangkumi rumpun ras Melayu yang meliputi pelbagai kaum peribumi asal di Nusantara." "Keunikan Diorama Kemerdekaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Malaysia amat bertuah kerana dikurniakan dengan keindahan bentuk muka bumi dan kepelbagaian kaum yang hidup dengan harmoni. Bersempena dengan ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-64, Helen Chua telah mengambil inisiatif untuk menghasilkan diorama berunsurkan kemerdekaan. Koleksi diorama tersebut menunjukkan suasana keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum menyambut hari kemerdekaan.\nKoleksi patung doh tersebut dipadankan dengan pakaian tradisi masing-masing sambil memegang bendera Malaysia. Patung doh diorama tersebut dihasilkan dengan menggunakan campuran tanah liat. Setelah patung doh tersebut siap terbentuk, artis seni akan melukis dan mewarnakan patung tersebut supaya pengunjung dapat melihat dengan lebih dekat. Tempoh masa yang diambil untuk menghasilkan satu-satu patung doh ini mengambil masa selama sebulan. Sebelum penghasilan patung doh tersebut, mereka akan membuat kajian terlebih dahulu untuk memastikan diorama yang dihasilkan menepati ciri-ciri etnik tersebut. Penghasilan patung doh tersebut memerlukan daya kreativiti yang tinggi daripada artis untuk memastikan patung doh yang dihasilkan mempunyai perincian yang tepat.\nHelen Chua menyatakan bahawa diorama tersebut dihasilkan bertujuan untuk menggambarkan keharmonian masyarakat majmuk Malaysia khususnya kepada masyarakat awam dan pelancong luar negara. Beliau menambah bahawa Malaysia merupakan negara yang bertuah kerana masyarakat majmuknya dapat hidup secara harmoni dan sentiasa bersatu padu tanpa mengira etnik. Oleh itu, beliau berharap agar masyarakat dan pelancong luar dapat mengenali dengan lebih dekat tentang kebudayaan dan cara hidup etnik di Malaysia." "Peribahasa Melayu: Mutiara Ekonomi Masyarakat Melayu Lama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSetiap masyarakat kaya dengan peribahasa yang merupakan ciptaan yang tidak terhingga nilainya kepada kelangsungan hidup masyarakat tersebut. Setiap peribahasa yang dicipta memperlihatkan penghayatan masyarakat pada masa dahulu yang begitu teliti terhadap elemen alam dan persekitaran selain hubungannya dengan kehidupan manusia. Peribahasa juga memperlihatkan usaha masyarakat tersebut dalam menyampaikan mesej tertentu secara halus dan dengan cara yang sopan bertujuan mendidik masyarakat tanpa mengguris perasaan.\nDalam hal ini, tidak dapat dinafikan kearifan masyarakat Melayu lama dalam penghasilan peribahasa yang merupakan salah satu khazanah warisan yang penting turun-temurun. Penghasilan peribahasa yang melambangkan pemikiran bangsa Melayu mempamerkan sikap, tingkah laku, kepercayaan, amalan, budaya dan struktur sosial golongan tersebut. Peribahasa yang dicipta oleh masyarakat Melayu lama mencakupi pelbagai aspek kehidupan yang dekat dengan diri dan kerja yang dilakukan oleh mereka. Satu daripadanya ialah variasi peribahasa yang dicipta berasaskan konteks ekonomi dan penggunaan bahasa kiasan tersebut dalam membuka lebaran bicara dalam menyatakan pemikiran penutur.\nPenglibatan masyarakat Melayu lama dalam aneka sektor ekonomi tradisional mendorong ciptaan pelbagai peribahasa hasil perolehan ilmu dan pengalaman daripada sektor yang diceburi. Misalnya, peranan dan sumbangan masyarakat Melayu lama dalam sektor pertanian, perikanan dan pertukangan membekalkan golongan ini dengan sejuta cabaran, dugaan dan juga pengalaman. Nilai ilmu, pengetahuan dan kemahiran golongan ini jelas dilihat dalam peribahasa yang dicipta agar menjadi panduan dan pengajaran hidup bagi generasi akan datang. Tidak kira peribahasa tersebut bersifat memuji, menegur, menyindir atau mengkritik sikap dan tingkah laku seseorang individu, tetap dilakukan dengan cara yang halus berpaksikan kesantunan bahasa.\nElemen yang mendasari penghasilan peribahasa berpaut pada gagasan pemikiran bangsa Melayu yang terhasil daripada pelbagai pengalaman yang dilalui atau dihayati dalam persekitaran hidup yang dipengaruhi oleh budaya kerja yang dilakukan. Pengalaman membantu membina kefahaman dan kefahaman ini diungkap dalam bentuk bahasa dan disampaikan secara halus sebagai teladan, nasihat dan pengajaran.\nSebagai contohnya, banyak peribahasa jelas menampakkan perkaitan antara aktiviti pertanian yang dilakukan sebagai pesawah dengan nasihat yang ingin disampaikan secara halus hasil pengalaman daripada kerja yang dilakukan. Peribahasa \u201cberjagung-jagung dahulu sementara menunggu padi masak\u201d menonjolkan gagasan pemikiran masyarakat Melayu lama terhadap keperluan berfikir dan minda yang matang untuk memanfaatkan peluang yang ada walaupun kurang baik tetapi masih berfaedah sementara menunggu keuntungan yang besar. Pembentukan personaliti dan soal moral ditekankan melalui peribahasa \u201cikut resmi padi, semakin tunduk semakin berisi\u201d yang menekankan keperluan sikap merendah diri walaupun berpangkat mahupun berilmu. Keperluan untuk membina kekuatan dan pengukuhan diri diterapkan dalam peribahasa \u201cada padi semua jadi, ada beras semua kerja deras\u201d yang memberikan penekanan kepada kemampuan diri sebagai asas pencapaian matlamat atau membolehkan sesuatu pekerjaan dilakukan dengan cepat.\nPeribahasa \u201ckalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya\u201d pula menonjolkan gagasan pemikiran masyarakat Melayu lama terhadap harga diri dan keperluan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan pasti. Begitu juga dengan peribahasa \u201cpisang tidak berbuah dua kali\u201d yang membina minda agar lebih berhati-hati dan tidak tertipu atau terpedaya pada kali kedua. Malah, peribahasa \u201cbagai mencurahkan air di daun keladi\u201d menonjolkan gagasan pemikiran terhadap sikap sesetengah individu yang mengabaikan atau tidak mempedulikan nasihat dan pengajaran yang diberi. Kesemua peribahasa ini dapat membuktikan kebijaksanaan masyarakat Melayu lama dalam menggunakan pengetahuan daripada pengalaman dan pengamatan dari konteks aktiviti ekonomi bercucuk tanam lalu mentransformasikannya ke dalam bentuk susunan kata yang indah sebagai ilmu kehidupan.\nSelain itu, kehidupan masyarakat Melayu lama yang bergantung kepada rezeki laut dan sungai. Penghasilan peribahasa yang berkaitan dengan pola ekonomi tersebut juga tidak dapat dinafikan kepentingannya sebagai sumber ilmu dan pengetahuan. Peribahasa seperti \u201calang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal tangan\u201d, \u201cikan lagi di laut, lada garam sudah di sengkalan\u201d, \u201claut mana yang tidak berombak, bumi mana yang tidak ditimpa hujan\u201d, \u201cikan biar dapat, serampang jangan pukah\u201d dan \u201cpukat terlabuh, ikan tak dapat\u201d mempunyai makna yang mendalam kepada masyarakat untuk difikirkan. Kebergantungan masyarakat terhadap sungai dan laut sebagai sumber makanan memberi laluan kepada penghasilan pelbagai peribahasa yang membayangi pola pekerjaan dan latar persekitaran tersebut tetapi mampu memanfaatkan masyarakat secara umum. Mesej dan ilmu yang terkandung dalam peribahasa ini juga jelas menonjolkan kebijaksanaan orang tua-tua dalam membina minda dan merangsang pola pemikiran yang rasional dalam mengharungi kehidupan.\nMalah, lakaran peribahasa juga tidak sunyi dalam persekitaran kerja-kerja pertukangan yang ditujukan sebagai peringatan, panduan dan pedoman yang berguna dalam meniti kehidupan. Hal ini dapat dilihat dengan terhasilnya peribahasa seperti \u201chabis kapak berganti beliung\u201d, \u201cseperti pahat dengan penukul\u201d, \u201cbeliung yang besar hayun, kecil makannya\u201d dan \u201crumah siap pahat masih berbunyi\u201d. Elemen pertukangan timbul sebagai lambang atau objek daripada persekitaran kerja yang dilakukan seterusnya dihubungkaitkan dengan mesej yang ingin disampaikan agar masyarakat mendapat kefahaman yang mudah dan jelas akan makna peribahasa tersebut seterusnya dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian.\nSenarai peribahasa ini tidak terhad kepada satu lokus yang kecil. Hal ini dipanjangkan lagi dan meliputi pelbagai bidang cakupan kerja. Yang jelas, setiap satu peribahasa jika diperhalusi mempunyai ilmu dan pengetahuan yang padu demi kelangsungan dan kesejahteraan hidup masyarakat. Setiap satu peribahasa juga tidak bebas daripada menerangkan satu-satu perkara demi membina minda. Hanya manusia yang perlu memperhalus makna tersirat yang dibawanya. Penekanan tetap disasarkan kepada usaha memberi peringatan, panduan dan pedoman dalam melakukan satu-satu kerja. Peribahasa yang terhasil daripada pengamatan ekonomi sebegini sudah tentu amat relevan dengan keperluan semasa masyarakat untuk difikirkan inti patinya dan dimanfaatkan dalam kehidupan. Perkara ini juga amat perlu dalam keadaan masyarakat yang terpaksa bersaing untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masing-masing dalam dunia yang semakin mencabar.\nNamun demikian, penggunaan peribahasa pada zaman ini oleh generasi muda semakin pudar. Kemungkinan generasi muda melihat penggunaan peribahasa lebih dikaitkan dengan keperluan masyarakat pada zaman dahulu dan dilihat sebagai satu entiti yang tidak relevan dalam komunikasi seharian pada masa ini. Hal ini merupakan satu kerugian besar kepada generasi muda yang gagal menikmati dan menghayati keindahan peribahasa selain kekuatan ilmu yang terhimpun di dalamnya.\nWalaupun pada masa ini masyarakat Melayu mula menceburi pelbagai sektor ekonomi melangkaui sektor tradisi, namun mutiara ilmu berkaitan dengan ekonomi yang terhimpun dalam peribahasa lama tetap penting dan masih dapat digunakan dalam pelbagai aspek. Sekiranya pemodenan dan perubahan zaman, selain perubahan peranan dalam institusi kekeluargaan, mula menghalang penilaian terhadap ilmu dan makna tersirat yang terkandung dalam peribahasa oleh generasi muda, maka peribahasa hanya tinggal sebagai satu ungkapan biasa yang dilafazkan semata-mata apabila perlu. Penghayatan sebenar terhadap keindahan makna peribahasa terus tenggelam dalam dunia yang begitu pantas bergerak.\nYang pastinya, peribahasa tidak mungkin akan hilang. Peribahasa tetap tersemadi dalam rangkuman ilmu selama-lamanya. Namun demikian, dengan adanya sikap acuh tak acuh masyarakat terhadap peribahasa, maka golongan ini mungkin lupa akan kepentingan peribahasa dan maknanya jika khazanah ini tidak dihayati dengan nilai akademik yang terhimpun di dalamnya. Menjadi satu kehilangan besar jika elemen ilmu, nilai kemanusiaan dan \u00a0kemasyarakatan yang disajikan melalui peribahasa Melayu ini terpinggir atau tenggelam dalam arus pemodenan." "Ke Mana Hilangnya Limar?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Seni tenunan tradisional telah menghasilkan banyak corak yang indah dan klasik dalam tenunan ikat seperti kain songket, kain ikat loseng dan kalin limar di negara kita. Tenunan ikat sebenarnya bersifat universal dan boleh didapati di seluruh dunia. Antara contoh kain tenunan ialah pua di Sarawak, geringing di Bali dan kasuri di Jepun. Kain tenun, limar dan songket merupakan kain warisan tradisional yang popular semasa pemerintahan Che Siti Wan Kembang, seorang ratu yang memerintah Kelantan dari tahun 1610-1677. Namun, ke mana hilangnya kain limar dii negara kita?\nDalan usaha untuk memperkenalkan kain limar kepada masyarakat Malaysia, pihak National Textile Museum Negara telah mengambil inisiatif dengan mengadakan satu program bicara dalam talian bertajuk \u201cKe Mana Hilangnya Limar\u201d pada 7 September 2021 yang boleh ditonton secara langsung melalui laman rasmi Facebooknya dan aplikasi zoom. Program bicara secara maya ini berlangsung lebih kurang sejam telah menjemput pakar dalam bidang tenunan limar, Prof. Dr Norwani Md Zawawi selaku ahli panel dan Rosidah Abdullah yang bertindak sebagai moderator.\nBudaya tenunan limar berasal dari Patani atau Kelantan Tua yang berada di bawah pemerintahan kerajaan Langkasuka. Hal ini dapat dibuktikan melalui penemuan bukti kain limar masih ada ditenun di Patani dan Surat Thani. Bahkan, ahli panel pernah ke sana untuk membuat kajian dan mendapati adanya persamaan antara tenunan tersebut dengan kain limar di Kelantan walaupun namanya adalah berbeza iaitu kain Chuan tani. Kain limar merupakan kain ikat pakan yang ditenun mengikut warna, corak dan motif tradisional. Kain limar mempunyai beberapa jenis dan corak dan jika corak dan motif itu bersifat lebih moden, ianya boleh doipanggi sebagai \u201ckain ikat pakan\u201d.\nStruktur kain limar terbahagi kepada dua iaitu kain limar lepas atau kain selendang dan kain punca potong. Jenis kain limar pula terbahagi kepada lapan iatu (i) kain limar biasa; (ii) kain limar bersongket; (iii) kain limar Terengganu; (iv) kain limar bersurat; (v) kain limar telepuk; (vi) kain limar ikat loseng; (vii) kain limar pelangi dan (viii) kain limar bersulam. Manakala, corak kain limar ini adalah lebih kurang sama seperti kain songkat iaitu corak bunga penuh, corak bunga. bertabur, corak teluk berantai, corak jalur berdiri, corak jalur melintang dan corak bersurat. Kain limar corak bersurat biasanya digunakan sebagai kain ikat pinggang oleh pahlawan yang ingin pergi berperang dan digunakan sebagai penutup kain keranda. Kain limar digunakan sebagai kain selendang, kain kembang dan kain sarong.\nKepupusan pengeluaran ikat limar bermula semasa berlakunya Perang dunia Kedua iaitu pada tahun 1945. Para penenun terpaksa menghentikan atau mengurangkan operasi kerana kenaikan harga benang sutera dan kapas. Selain itu, kepupusan kain limar juga disebabkan beberapa penenun yang mengetahui teknik ikat tenun ini telah meninggal dunia dan sebilangan kecil yang mengetahuinya tidak akan mengajar penenun yang lain kerana ianya dianggap sebagai rahsia keluarga yang perlu dijaga. Di samping itu, proses menenun ikat limar hanya diajarkan secara lisan tanpa adanya catatan bertulis yang menyebabkan teknik ini tidak dapat diwarisi dengan lebih sempurna. Tenunan ikat limar ini juga semakin pupus kerana kebanyakan penenun lebih suka menenun songket daripada kain limar disebabkan tenunan jenis ini mengambil masa yang lama.\nSemoga program tersebut dapat menambah pengetahuan masyarakat Malaysia berkaitan kain limar dan faktor kepupusan\u00a0 kain ini di negara kita. Bagi yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan kain limar bolehlah mendapatkan buku bertajuk Ikat Limar: The Ancient Malay Textile yang ditulis oleh panel jemputan, Prof Dr Norwani Md Zawawi daripada Dewan Bahasa dan Pustaka." "Melukis Kartun Bersama Rossem\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Rossem merupakan seorang kartunis senior Kelantan pernah menempa nama dalam dunia komik Melayu dengan karyanya Konstabel Jabit yang disiarkan secara bersiri dalam akhbar Utusan Melayu/Mingguan Malaysia selama 15 tahun sejak 1978 sehingga 1993. Beliau berpengalaman mengadakan pameran peringkat tempatan dan antarabangsa.\nRossem telah mempamerkan beberapa koleksi lukisannya yang bertemakan rasuah dalam program yang disiarkan di Facebook BBTV pada \u00a08 September 2021. Selain mempamerkan koleksi lukisannya, dia juga berkongsi pengalamannya sebagai kartunis yang terlibat lebih 40 tahun dalam dunia lukisan kartun. Program itu dihoskan oleh Shida Ludin selaku moderator. Rossem mempamerkan empat karikatur karyanya yang telah siap dilukis istimewa untuk program tersebut. Empat lukisan tersebut berkisar tentang rasuah yang dilakukan secara terang-terangan kerana perbuatan itu \u00a0sudah menjadi kebiasaan, rasuah bermusim menjelang pilihan raya, rasuah dilakukan oleh watak jerung namun watak bilis sahaja yang ditangkap dan virus rasuah yang perlu dibuang kerana sudah berakar di dalam otak para pelakunya.\nDalam program itu, Rossem telah melukis tiga kartunnya secara langsung ketika program diadakan. Lukisannya yang pertama merupakan wajah seseorang yang sedang lahap memakan satu objek yang disimbolkan dengan huruf \u201cRM\u201d. Kita melihatnya seperti makan dengan lahap apabila mendapati mulutnya begitu luas ternganga. Lakaran yang sangat mudah dan ringkas, namun jelas. Lukisan pertama itu menerangkan tema utama program tersebut iaitu berkenaan isu rasuah.\nKartun kedua pula berupa tiga subjek. Pertama, seorang lelaki yang mungkin sebagai masyarakat awam atau penguatkuasa. Subjek kedua ialah perasuah. Manakala subjek ketiga ialah tong sampah. Lelaki perasuah sedang diangkat oleh lelaki pertama untuk dibuang ke dalam tong sampah. Rossem ingin menggambarkan bahawa perasuh ini sepatutnya dibuang ke dalam tong sampah, mungkin sebagai najis atau barangkali sampah.\nLakaran ketiga juga ringkas, cuma berupa huruf yang membentuk perkataan rasuah itu sendiri iaitu R.A.S.U.A.H. Namun dua daripada enam huruf itu telah diubahsuai dengan begitu kreatif apabila huruf S dibentuk daripada lingkaran gari yang digunakan oleh pihak keselamatan ketika menangkap penjenayah. Kemudian huruf H pula, ditembusi peluru di bahagian palangnya memberi maksud di sesetengah negara luar orang yang terlibat dengan gejala rasuah ini ada yang dijatuhkan hukuman bunuh dengan cara ditembak.\nMengakhiri sesi pada petang itu, Rossem menyampaikan nasihat kepada para kartunis baru, katanya, \u201cMelukis kartun ini tiada guru sebenarnya kerana tidak ada diajar di mana-mana fakulti dalam universiti di Malaysia kecuali bidang animasi sahaja yang ada. Kita perlu berusaha sendiri agar dapat melukis kartun dengan baik dan hendaklah dipastikan terlebih dahulu dengan karya tersebut sama ada kita ingin mengkritik atau sekadar untuk hiburan semata-mata.\u201d" "Sumbangan Bidang Arkeologi terhadap Alam dan Tamadun Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) menganjurkan program Siri Syarahan ATMA yang telah diadakan pada 9 September 2021. Tajuk siri syarahan pada kali ini ialah \u201cSumbangan Bidang Arkeologi Terhadap Alam dan Tamadun Melayu\u201d yang diadakan secara dalam talian menerusi Facebook ATMA.\nProgram tersebut \u00a0menampilkan \u00a0Profesor Madya Dr. Asyaari Muhamad selaku ahli panel merangkap Timbalan Pengarah ATMA. Pada peringkat pertama perbincangan, beliau memperincikan empat sumbangan utama bidang arkeologi terhadap alam dan tamadun Melayu, iaitu menyumbang dari sudut keilmuan dalam bidang arkeologi, merangsang ekonomi tempatan terutamanya dalam bidang pelancongan, menyumbang kepada pembangunan negara menerusi pembinaan infrastruktur dan pemeliharaan warisan serta membina jati diri negara dan bangsa.\nMenerusi syarahan tersebut, beliau menjelaskan bentuk muka bumi Alam Melayu dan penghuninya pada era purba. Kerajaan awal di Alam Melayu terdiri daripada kerajaan agaria dan kerajaan maritim. Kerajaan agaria memfokuskan bidang pertanian sementara kerajaan maritim pula menjana ekonomi melalui aktiviti laut. Beliau memberikan contoh tapak arkeologi di Malaysia seperti di Lembah Bujang, Bukit Bunuh, Gua Niah, Sungai Batu dan lain-lain lagi.\nSelain itu, penemuan artifak yang berharga di tapak arkeologi boleh menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara. Beliau memberikan cadangan kepada pihak kerajaan untuk memperkasakan industri pelancongan arkeologi kerana mampu memberikan sumbangan kepada perkembangan ekonomi negara. Pada peringkat kedua perbincangan pula beliau menjelaskan bahawa bidang arkeologi dapat membina jati diri sesuatu bangsa melalui bukti penemuan artifak. Beliau menjelaskan bahawa penemuan artifak itu dapat menjadi bukti penting asal usul sesuatu bangsa dan negara. Program ini turut disertai oleh ahli akademik dari dalam dan luar negara." "Filem P. Ramlee Sebagai Medium Hiburan, Didikan dan Kritikan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPulau Pinang \u2013 Seniman Agung P. Ramlee dianggap pengarah filem terpenting dalam sinema Melayu. Filem beliau mempunyai ciri-ciri sebuah filem yang baik, iaitu menghibur, mendidik dan memberitahu sesuatu yang tersirat. Sebagai seorang pengarah, P. Ramlee telah memanfaatkan bahan dari persekitaran masyarakat untuk diolah ke dalam filem beliau, termasuklah bahan dari cerita rakyat seperti Musang Berjanggut dan\u00a0Nujum Pak Belalang.\nPada 11 September 2021, berlangsungnya Bual Bicara Karya P. Ramlee anjuran Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama Rumah Kelahiran P. Ramlee, Pulau Pinang dan Arkib Negara Pulau Pinang. \u00a0Dua orang panel telah diundang untuk menjayakan sesi tersebut ialah Tan Sri Dato\u2019 Seri (Dr.) Haji Mohd Yussof Latiff, Presiden Kelab Peminat P. Ramlee Pulau Pinang dan Siti Raihani Mohamed Saaid, penulis dan pengkaji filem P.Ramlee. Dalam sesi tersebut, Tan Sri Dato\u2019 Seri Yussof Latiff sebagai anak jati Pulau Pinang banyak berkongsi pengalaman peribadinya bersama Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee. Pada usia 85 tahun, Tan Sri Yussof merupakan antara sahabat P. Ramlee yang masih hidup.\nSelain memperkatakan tentang sifat pemurah dan bakat alami yang dimiliki oleh Seniman Agung tersebut, Tan Sri turut berkongsi bahawa P. Ramlee merupakan antara orang yang aktif dalam permainan sepak raga di Pulau Pinang. Apabila berhijrah ke Singapura, P. Ramlee telah mempopularkan sukan sepak raga di kota besar itu. Sebagai orang kuat Presiden Kelab Peminat P. Ramlee, Tan Sri turut berkongsi perancangan yang telah dilakukan dan akan datang oleh kelab untuk memastikan supaya sumbangan kesenimanan P. Ramlee mendapat tempat yang sewajarnya. Selain daripada memperkenalkan subjek Pemikiran Filem P. Ramlee seperti yang pernah diajar di ASWARA ke institusi pendidikan yang lain, pihak Tan Sri juga sedang berbincang dengan kerajaan negeri untuk menamakan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa P. Ramlee.\nSiti Raihani yang sedang mengkaji filem P. Ramlee untuk tesis Doktor Falsafahnya pula membincangkan tentang sumber idea yang diangkat oleh P. Ramlee ke dalam filem beliau. Antara soalan yang diajukan ialah khusus mengenai filem Nujum Pak Belalang (1959) yang diangkat daripada cerita rakyat. Siti Raihani telah menghuraikan perbandingan antara Nujum Pak Belalang versi cerita rakyat dengan versi filem dari segi watak dan perwatakan serta jalan cerita. Beberapa pengubahsuaian itu dibuat oleh P. Ramlee mengikut kreativiti beliau bagi memenuhi tuntutan komersial serta boleh difilemkan mengikut teknologi perfileman yang ada ketika itu.\nSiti Raihani turut menjelaskan bagaimana P. Ramlee mengambil serius akan peranannya selaku pengarah untuk menjadikan filem sebagai medium hiburan, didikan dan kritikan terhadap masyarakat. Beberapa buah filem beliau misalnya, disampaikan dalam bentuk komedi kerana beliau amat memahami sifat masyarakatnya yang tidak boleh ditegur secara berterus-terang." "Perihal \u201cMusang King\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMalaysia sememangnya negara yang bertuah.\u00a0 Sebagai negara yang terletak di kawasan khatulistiwa, iklimnya yang panas dan lembap sepanjang tahun membolehkan pelbagai tumbuhan dan tanaman tumbuh subur menghijau. Antara tanaman yang paling terkenal dan termahal di Malaysia termasuklah durian.\nBuah durian meliputi pelbagai jenis. Di Malaysia dan di luar negara, durian kita yang mendapat sambutan yang paling hebat ialah durian Musang King. Durian ini menjadi rebutan ramai kerana tekstur dan rasanya yang bitara. Rasanya yang manis dan pahit sedikit menjadikan banyak penggemarnya terliur dan menggilainya. Mungkinkah ada yang tertanya-tanya, mengapakah nama durian tersebut sedemikian?\nMusang King ialah nama yang dijenamakan semula apabila nama tersebut didaftarkan sebagai nama komersial bagi klon durian Raja Kunyit pada 9 Disember 1993 oleh Wee Chong Beng. Nama durian Musang King dijenamakan sedemikian kerana klon durian itu (D197) pada mulanya ditanam di kawasan Gua Musang, Kelantan.\nAda juga pengguna bahasa Melayu yang ingin tahu, adakah nama Musang King patut ditulis sepenuhnya dalam bahasa Melayu sebagai Raja Musang atau ditulis dengan huruf kecil sebagai musang king sahaja?\nOleh sebab nama Musang King merupakan nama komersial yang sudah didaftarkan secara rasminya, bentuk nama tersebut kekal ditulis dengan huruf besar, dan tidak boleh diterjemahkan kepada bahasa Melayu sesuka hati. Walau bagaimanapun, nama asalnya, iaitu durian Raja Kunyit boleh digunakan sebagai pilihan. Hal ini selaras dengan jenama komersial yang lain. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a.\u00a0 Dia suka makan durian Musang King.\n1b.\u00a0 *Dia suka makan durian Raja Musang.\n1c.\u00a0 *Dia suka makan durian musang king.\n1d.\u00a0 Dia suka makan durian klon D197.\n1e.\u00a0 Dia suka makan durian Raja Kunyit.\n\u00a0\n2a.\u00a0 Dia makan di restoran Burger King.\n2b.\u00a0 *Dia makan di restoran Raja Burger.\n2c.\u00a0 *Dia makan di restoran burger king.\n\u00a0\n3a.\u00a0 Dia menggemari minyak wangi Poison.\n3b.\u00a0 *Dia menggemari minyak wangi Racun.\n3c.\u00a0 *Dia menggemari minyak wangi poison.\n3d.\u00a0 *Dia menggemari minyak wangi racun.\n\u00a0\n4a.\u00a0 Dia memaparkan hantarannya pada Facebook.\n4b.\u00a0 *Dia memaparkan hantarannya pada Wajahbuku.\n4c.\u00a0 *Dia memaparkan hantarannya pada facebook.\n4d.\u00a0 *Dia memaparkan hantarannya pada Face Book.\n\u00a0\nDari segi ejaan, kata nama khas sememangnya harus ditulis dengan huruf besar. Hal ini mencakupi pelbagai perkara. Sila lihat contoh yang berikut:\nWalau bagaimanapun, terdapat pelbagai pertubuhan antarabangsa atau tempatan yang mempunyai terjemahan rasminya dalam bahasa Melayu. Oleh itu, namanya dalam bahasa Melayu patut kita gunakan dalam penulisan bahasa Melayu. Sila lihat contoh yang berikut:\nTerjemahan: Pertubuhan Kesihatan Dunia\nTerjemahan: Pergerakan Negara-Negara Berkecuali\nTerjemahan: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan\n\u00a0\nTerdapat juga kata nama khas yang digunakan bersama-sama dalam kata nama am. Dalam hal ini, seluruh kata nama am yang berkenaan harus ditulis dengan huruf kecil.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\nKata nama am: monyet belanda, durian belanda, tikus belanda, ayam belanda\nKata nama am: kacip fatimah, kacit fatimah, rumput siti fatimah, selusuh fatimah, tongkat ali\nKata nama am: cina maki, akar cina, cina bukit, bunga cina, kayu cina\nSelain itu, kata nama khas juga dieja dengan huruf kecil apabila ditambah imbuhan ke-.-an untuk menjadi kata adjektif terbitan. Sila lihat contoh yang berikut:\n\u00a0\nNamun demikian, kata nama khas mungkin juga dikekalkan bentuk yang berawalkan huruf besar dalam peribahasa. Sila lihat contoh yang berikut:\nMaksud: sesudah diberi sedikit, minta lagi banyak\n\u00a0\nMaksud: mengajar orang yang sudah pandai" "Inovasi Sigar Alternatif Pelestarian Budaya Kadazan Dusun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada 6 Julai 2021 yang lalu\u00a0, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Bahagian Wilayah Sabah telah menganjurkan sebuah Wacana Kearifan Tempatan Sabah yang bertajuk \u201cInovasi Sigar Alternatif Pelestarian Budaya Kadazandusun\u201d menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP bagi memperlihatkan secara meluas budaya Kadazandusun kepada dunia luar. Wacana ini dikendalikan oleh Hafifi Haroce dan ahli panel Yang Bahagia, Dr. Rosliah Kiting, Pensyarah Kanan Falkulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).\nSigar menurut Kamus Dewan Edisi Keempat merujuk kepada kain penutup kepala perempuan, iaitu ketika turun ke sawah. Dr.\nRosliah Kiting menyatakan bahawa sigar ini merupakan pelengkap pakaian tradisi Kadazan Dusun untuk lelaki yang digunakan dalam pelbagai acara atau suatu pekerjaan, manakala bagi kaum perempuan pula disebut sebagai siro.\nIstilah lain yang merujuk kepada sigar adalah \u201csiga\u201d bagi etnik Tangara, \u201csigar\u201d bagi etnik Bundu, Liwan, Tindal. Sundi pun bagi etnik Lotud atau \u201csigal\u201d dalam etnik Rungus, sigar kotupu bagi suku kaum Tatana. Hiasan di kepala ini mempunyai persamaan dengan destar atau deta di Negeri Sembilan, tanjak di Selangor, tengkolok di Perak, manakala setangan di Kelantan dan Terengganu. Semua istilah ini merujuk kepada pelitup kepala, tetapi berbeza dari segi bentuk mengikut etnik dan kawasan tertentu.\nDi Sabah, sigar diperbuat daripada tekstil jenis dastar yang ditenun dikenali sebagai Podong dalam kalangan masyarakat Iranun. Kemudiannya, dihiaskan dengan renda berwarna kuning. Kain dastar ini berukuran 42 inci lebar dan 42 inci panjang. Latar kain ini mempunyai dua warna, iaitu warna hitam dan warna merah. Penggunaan renda kuning ini bukan bermakna si pemakai itu kaya dengan emas semata-mata atau memiliki harta yang boleh dibanggakan, tetapi warna kuning ini adalah simbolik kekeluargaan kekal yang berasal daripada Tamadun Nunuk Ragang. Masyarakat Kadazandusun menjadikan warna emas kekuningan kekal sebagai lambang persaudaraan atau kekeluargaan yang sukar luntur walaupun terpisah jauh atau lama waktu yang panjang. Pemakaian sigar melambangkan keharmonian, kekeluargaan dan kepahlawanan kepada pemakai yang diukir dalam sulaman kain dastar kemudiannya dijadikan sebagai sigar.\nAntara keperluan inovasi terhadap sigar termasuklah untuk kelestarian budaya Kadazan Dusun. Keunikan pakaian tradisi ini semakin luntur dan kurang diaplikasikan dalam pemakaian generasi kini. Keadaan ini dapat dilihat penggunaan pelengkap pakaian ini sangat tidak memberangsangkan dalam beberapa jenis sambutan ataupun perayaan yang melibatkan pakaian tradisi.\nProses membuat inovasi sigar ini mempunyai lima aspek penting, iaitu pemilihan bahan, penentuan motif, penyimpanan, hiasan dan lipatan. Inovasi sigar ini dimulakan dengan pemilihan bahan, iaitu kain sarung. Kajian berkaitan motif yang terdapat corak pakaian tradisi etnik dalam rumpun Kadazan Dusun menggambarkan kehidupan masyarakat yang akrab dengan alam sekitar. Motif ini dijadikan panduan dalam memilih kain yang dipilih untuk dijadikan sebagai sigar inovasi agar masih ada nilai dan makna dalam budaya masyarakat Kadazan Dusun.\nSecara lazimnya, motif yang sering digunakan berdasarkan alam semula jadi dan haiwan, seperti pucuk rebung, bunga-bungaan, burung dan sebagainya. Motif-motif tersebut diilhamkan daripada kegiatan harian. Penggunaan motif ini menggambarkan keakraban masyarakat Kadazan Dusun terhadap alam sekitar. Misalnya penggunaan motif burung yang menggambarkan kepentingan burung dalam masyarakat ini, iaitu sebagai ubat bagi burung bubut, pembawa berita bagi burung longkug, pembawa rezeki bagi burung tiou dan sebagainya. Motif geometri juga menggambarkan kreativiti masyarakat ini dalam menghasilkan kraftangan dan binaan.\nAntara inovasi pembuatan sigar termasuklah teknik lipatan. Kemahiran melipat akan menghasilkan sigar yang cantik, padat dan kemas. Motif yang diletakkan pada pucuk sigar memerlukan kepakaran memilih dan melipat untuk mempastikan motif yang dikehendaki dapat dihasilkan. Bahagian kemuncak dilipat dalam bentuk segi tiga, sementara bahagian bawah dilipat dalam bentuk gulung kemudian dibentukkan menjadi bulat sesuai dengan saiz kepala pemakai.\nAkhir sekali, menjahit turut menjadi elemen penting dalam pembuatan sigar. Kemudiannya menghias menggunakan renda kuning atau merah. Secara umumnya, kain sarung yang telah dibentuk dikelilingi dengan renda. Namun demikian, hiasan tersebut tidak mempunyai had dari segi bentuk dan jumlah. Hal ini bergantung kepada kreativiti pembuat dan sesuai dengan kehendak pelanggan.\nSebagai kesimpulannya, inovasi sigar ini mempunyai pelbagai manfaat, iaitu menarik dan mudah dibuat, kos pembuatannya juga murah dan mampu mengekalkan identiti bangsa. Inovasi sigar sememangnya memiliki nilai dan kelas yang tersendiri kerana keunikan bentuknya dan cara penghasilannya memerlukan penelitian yang mendalam. Penggunaan inovasi sigar menjelaskan adab pemakaian dalam konteks pembuatannya sebagai pelestarian khazanah bangsa yang sangat bernilai daripada luput ditelan zaman bagi mengekalkan budaya Kadazan Dusun pada masa hadapan." "Sastera dan Visual Digital\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDatuk Dr. Anwar Ridhwan bukanlah nama asing dalam dunia sastera kebangsaan. Beliau merupakan Sasterwan Negara yang ke-10 dan telah menulis secara aktif semenjak tahun 1970-an lagi. Hingga kini, beliau masih lagi giat menulis disamping menjadi pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif & Filem, Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan .\nBerbicara tentang perkembangan dunia penulisan kreatif di abad ke-21, Dr. Anwar menyatakan bahawa banyak perkara yang telah berubah, terutamanya yang berkaitan dengan dengan teknologi dan komunikasi. Hal ini dikatakan demikian kerana semuanya berada di hujung jari dan maklumat berubah dengan begitu pantas dan cepat. Justeru itu, menjadi kepentingan untuk penulis peka dengan kesahihan maklumat yang diterima itu.\nDr. Anwar juga menambah bahawa perkembangan revolusi industri 4.0 juga mempengaruhi kehidupan harian kita. Revolusi digital ini menuntut perubahan semua pihak agar dapat terus kekal bersaing dan merancakkan kemajuan landskap dunia moden, di samping memberikan kesan langsung kepada dunia pekerjaan.\nSungguhpun dunia bergerak kehadapan, sistem nilai dan budaya timur tetap perlu dipertahankan.\u00a0 Hal ini perlu dilihat dengan lebih serius agar kehidupan kita lebih bermakna dan kemajuan pula tidak meminggirkan mana-mana pihak.\u00a0 Jelas beliau lagi, isu integriti, masalah sosial, polarisasi kaum dan jenayah pemerdagangan manusia tetap berlaku, maka di sinilah pentingnya peranan penulis, terutamanya penulis muda, untuk mengetengahkan isu tersebut dan diolah menjadi satu naskhah yang tinggi nilai intelektualnya.\nSelain itu, kaedah menulis juga berbeza dengan waktu dahulu. Jika dahulu penulis hanya menulis menggunakan teks sahaja, namun kini penulis harus lebih kreatif dalam persembahannya dengan menggabungkan teks dan multimedia. Gabungan ini akan menarik lagi minat anak-anak muda untuk membaca naskhah sastera kerana tidak lagi berasa bosan dan lebih interaktif.\nKonsep buku virtual, teknologi augmented reality atau artificial intelligence perlu diteroka oleh penulis muda kerana menjadi ikutan terkini dalam dunia penulisan. Penguasaan elemen baharu ini akan memberikan satu nilai tambah dalam setiap naskhah kreatif yang dihasilkan kerana lebih kontemporari dan dapat menyebarluaskan, menyuburkan serta menarik minat pembaca muda untuk membaca. \u00a0Jika hanya bergantung kepada teks atau illustrasi sahaja, maka akan ketinggalan dan minat membaca sukar untuk dipupuk.\nMenurut Dr. Anwar, gabungan naskhah kreatif dengan telefon pintar yang sudah dilengkapi akses internet ini membolehkan sesiapa sahaja membaca dengan mudah pada bila-bila masa. Hal ini menjadi satu bentuk pendemokrasian ilmu dan perlu diraikan dengan menghasilkan naskhah yang bergabung dengan teknologi agar idea penulis itu dapat divisualkan.\nWalaupun penggunaan teknologi ini sangat penting, ketekunan penulis dalam menggunakan laras bahasa yang betul adalah lebih mustahak. Penulis perlu bermain dengan kata-kata yang bernas, menggunakan metafora dan bidalan dan tetap mengekalkan unsur-unsur keindahan estetika agar naskhah itu tampil hebat dan memukau. Setiap naskhah perlulah mempunyai unsur pengajaran dan teladan, di samping memberi ilmu dan membijaksanakan pembaca. Dengan teknologi sahaja, tanpa kandungan yang bermanfaat, tidak memberikan faedah kepada sesiapa jua.\nBeralih kepada keadaan isu industri buku dan percetakan pula, Dr. Anwar berpendapat bahawa pada ketika ini, satu fasa perubahan bukan sahaja terjadi di negara ini, tetapi menjadi fenomena global. Buku yang dicetak masih ada permintaan dan mempunyai peminatnya yang tersendiri. Sebagai contohnya, buku berbentuk indie masih mempunyai kelompok pembacanya dan mempunyai komunitinya sendiri yang menyokong buku berbentuk sebegitu. Hal ini dikatakan demikian kerana tema buku sedemikian yang tidak terikat dan bebas.\nBagi buku sastera pula, mungkin pada masa akan datang akan dicetak berdasarkan kepada permintaan. Hal ini dikatakan demikian kerana cetakan digital tidak memerlukan jumlah yang banyak dan dapat dicetak pada jumlah yang sedikit dan cepat untuk disiapkan. Keadaan ini telah pun berlaku dan dijangka akan menjadi ikutan pada sedikit waktu lagi.\nSastera dalam Platform Digital\nLedakan teknologi telah merubah banyak perkara dalam hidup kita. Jika dahulu khalayak umum membaca surat khabar secara fizikal, kini membacanya secara digital. Dahulu ruangan sastera mempunya tempatnya yang tersendiri, kini semakin dipinggirkan kerana halaman surat khabar sudah semakin menipis dan terpaksa pula bersaing dengan ruangan yang lain. Justeru itu, penggunaan platform digital adalah jawapan kepada masalah ini. Kini, sudah tiba masanya ruangan sastera secara digital diperkasakan agar selari dengan peredaran zaman.\nMasalah utama yang sering dikaitkan dengan platform digital ini ialah siapakah pihak yang ingin menerbitkannya dan adakah diyakini oleh khalayak umum? Justeru itu Dr. Anwar menyarankan agar pihak-pihak yang berautoriti agar segera merebut peluang ini untuk menjadi peneraju dalam platform digital dan mengkhususkanya dalam kandungan berbentuk sastera.\nSebagai contohnya pihak Dewan Bahasa dan Pustaka atau universiti, mereka mempunyai kepakaran dan dikenali oleh umum. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak ini masih mengekalkan konsep editorial dan mempunyai prosuder yang tersendiri. Justeru itu, penyiaran naskhah sastera tidak akan dipertikaikan kerana telah melalui proses saringan yang sewajarnya. Yang berbeza ialah dahulu dicetak oleh akhbar, dan kini beralih pula pada platform digital.\nSelain itu, pihak akhbar digital yang telah bertapak kukuh di Malaysia boleh juga mengambil inisiatif dengan memperuntukan ruangan tertentu untuk sastera agar kekal subur. Pada masa ini kandungan akhbar digital lebih galak menyiarkan kisah politik, gosip dan hiburan, sedangkan banyak lagi bentuk kandungan yang bermanfaat dapat dihidangkan kepada khalayak umum.\nMengakhiri perbualan, Dr. Anwar berpesan kepada penulis muda agar terus membaca dan mengkaji naskhah yang terdahulu kerana hasil karya yang bermutu dapat dicapai jika penulisnya mempunyai ilmu yang luas.\nPenulis merupakan pensyarah seni visual di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA)." "Permohonan Geran Bantuan Kewangan Program dan Aktiviti Negeri Selangor\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Kerajaan Negeri Selangor telah melancarkan Pakej Kita Selangor 2.0 yang telah diumumkan oleh Y.A.B. Dato\u2019 Seri Amirudin Shari, Dato\u2019 Menteri Besar Selangor pada 9 Jun lalu. Program itu memperuntukkan RM 2.55 juta untuk industri pelancongan negeri itu, khususnya bagi menangani impak pandemik Covid-19.\nAntara insentif yang terkandung dalam Pakej ini termasuk Geran Bantuan Kewangan Program / Aktiviti Pelancongan Negeri Selangor dengan jumlah peruntukan RM 1 juta, Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 dengan jumlah peruntukan RM 1 juta, Program Latihan Pembelajaran Pendigitalan Pelancongan Negeri Selangor berjumlah RM 300,000.00, dan Bantuan Kewangan \u201cOne-Off\u201d yang telah disalurkan secara maya kepada 17 Persatuan Pelancongan di negeri Selangor pada 9 September lalu.\nBerita baik buat semua; permohonan untuk Geran Bantuan Kewangan Program/Aktiviti Pelancongan negeri Selangor akan mula dibuka bermula 23 September hingga 31 Disember ini menerusi pautan Google Form yang boleh diakses melalui imbasan kod QR yang tertera. Inisiatif ini bertujuan untuk memulih dan menggalakkan program pelancongan bagi mempromosikan industri pelancongan negeri Selangor di ambang pandemik Covid-19 yang semakin menghampiri ke fasa endemik.\nInisiatif ini dibuka kepada penggiat industri pelancongan yang layak di negeri Selangor yang ingin menganjurkan atau menyertai program atau aktiviti pelancongan yang mempromosikan industri pelancongan negeri. Geran Bantuan Kewangan ini akan dilaksanakan melalui kaedah pengembalian kewangan dan jumlah permohonan adalah berdasarkan kepada satu penyertaan atau pelaksanaan, iaitu 50% daripada jumlah perbelanjaan sebenar ATAU mengikut kelayakan maksimum RM20,000.00 \u2013 yang mana lebih rendah.\nPelaksanaan segala inisiatif yang terkandung dalam Permohonan Geran Bantuan Kewangan yang telah diluluskan pula perlu diselesaikan dalam tempoh dari 1 Oktober 2021 sehingga 30 Jun 2022. Pelaksanaan itu dilakukan menerusi Program Familiarization (FAM) Trip, Misi Jualan, Pameran Pelancongan, Acara Pelancongan MICE, atau sebarang pengisian lain yang bersesuaian bagi merancakkan semula sektor pelancongan negeri Selangor.\nInisiatif ini dijangka akan menarik minat dan penyertaan dari Persatuan Pelancongan di Negeri Selangor yang berdaftar dan diiktiraf di Malaysia, syarikat agensi pelancongan dan pengembaraan di negeri Selangor yang berdaftar dan dilesenkan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Pengusaha Homestay di Negeri Selangor yang berlesen dan berdaftar di bawah pihak MOTAC, pengusaha dalam sektor pelancongan MICE yang berdaftar dan berlesen di Negeri Selangor, para Hos Komuniti yang berdaftar dan berlesen di Negeri Selangor, serta Persatuan Komuniti atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang berdaftar.\nUsah lepaskan peluang ini dan bersama-sama berganding bahu dengan pihak Tourism Selangor ke arah melestarikan industri pelancongan negeri. Semak syarat kelayakan untuk memohon dengan mengimbas kod QR yang tertera atau untuk sebarang informasi lanjut, sila layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di www.selangor.travel. Anda juga boleh menghantar e-mel ke geranba[email\u00a0protected] untuk sebarang pertanyaan." "Mengenang Jasa Seniman Agung P. Ramlee\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSeniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee merupakan manusia biasa yang luar biasa. Hingga hari ini, setelah lebih 40 tahun meninggal dunia, nama P. Ramlee sentiasa hidup dan menjadi sebutan rakyat dan pemimpin negara ini. Hal ini menjadi tanda dan bukti jelas betapa sumbangan dan jasa yang pernah diberikan oleh seniman agung negara ini tetap dikenang dan dihargai\nMantan Menteri Luar ketika zaman Tuanku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri, Allahyarham Tan Sri Ghazali Shafie, menyifatkan ketiadaan P. Ramlee diibaratkan sebagai terpadamnya pelita tunggal yang menerangi alam seni dan budaya negara. P. Ramlee sebelum pergi menghadap Tuhan telah mencipta lebih kurang 1000 lagu.\u00a0 Lagu-lagu ciptaan Allahyarham menjadi kegemaran semua peringkat usia pendengar, tidak kira sama ada muda atau tua.\u00a0 Lagu-lagu ciptaan dan nyanyian P. Ramlee masih lagi malar segar hingga ke saat ini.\nRamlee, atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh, merupakan seniman yang berjaya dalam dunia yang diceburinya. Allahyarham berjaya menjadi penyanyi dan pencipta lagu yang terkenal. P. Ramlee dapat bermain muzik dengan baik, bijak berlawak, berlakon dan pandai mengarah filem komedi serta drama masyarakat. Filem P. Ramlee mendapat sambutan hangat sewaktu ditayangkan, terutama filem komedi lakonan dan arahan beliau. Masyarakat tidak pernah jemu dan bosan menonton filem P. Ramlee yang ditayangkan di layar televisyen. Setelah P. Ramlee meninggal dunia, orang yang boleh menjadi seperti P. Ramlee belum lagi ditemui di negara kita. Nyatalah kehilangan P. Ramlee benar-benar satu kehilangan yang sukar dicari ganti.\u00a0 Ketiadaan P. Ramlee cukup dirasakan oleh kebanyakan orang, baik rakyat jelata mahu pun pemimpin negara.\nMenurut Allahyarham Tan Sri Ghazali Shafie yang pernah menjadi Pengerusi Jemaah Pengadil Pesta Filem Asia suatu masa dahulu, banyak anggotanya menganggap P. Ramlee sebagai \u201cCharlie Chaplin Asia\u201d kerana bakatnya yang serba boleh dalam bidang seni lakon, seni mengarah, seni muzik, seni suara, seni cipta, seni kata, seni drama dan apa-apa yang bersangkut paut dengan perfileman.\nAllahyarham Abdullah Hussain, penulis terkenal di tanah air, dalam catatannya berjudul \u201cP. Ramlee Dalam Kenangan\u201d dalam majalah Dewan Masyarakat, Jun 1973, menulis, \u201cRamlee telah tiada lagi. Tetapi namanya akan terus disebut zaman-berzaman. Namanya akan dicatat di dalam sejarah bangsanya sebagai manusia budaya yang pertama, yang telah menjulang nama bangsa dan negaranya dalam dunia perfileman. Dia akan hidup seribu tahun lagi, seperti yang pernah diucapkannya.\u201d\nPernah suatu ketika dahulu pada tahun 1980-an, sebuah syarikat perfileman berura-ura untuk menerbitkan sebuah filem tentang riwayat hidup P. Ramlee sebagai usaha untuk mengenang jasa dan nama tokoh filem Melayu itu. Walau bagaimanapun, entah di mana silapnya, usaha syarikat tersebut tidak menjadi kenyataan.\u00a0 Dengan kata lain, filem yang dicadangkan itu tidak berjaya dihasilkan.\nSememangnya menghasilkan filem tentang perjalanan hidup seorang tokoh, apatah lagi tokoh itu bukan sebarangan orang, tidaklah mudah.\u00a0 Justeru itu, agaknya tidak banyak filem-filem yang memaparkan riwayat hidup dan perjalanan tokoh dunia tertentu tidak banyak difilemkan. Menghasilkan filem tentang tokoh amat sukar dan tidak wajar dibuat dengan sambil lewa.\nFilem Gandhi misalnya, mengambil tokoh India yang terkenal itu sebagai watak utama. Gandhi menceritakan riwayat hidup Mahatma Gandhi dan liku-liku perjuangannya menuntut kemerdekaan di India. Filem ini satu daripada filem yang hebat dan mendapat sambutan luar biasa pada peringkat antarabangsa.\u00a0 Banyak sebab yang menyumbang dan menjadikan filem ini hebat dan terkenal.\nPelakon utamanya, Ben Kingsley, berjaya menghidupkan watak Gandhi yang telah meninggal dunia sekian lama itu dalam bentuk, gaya dan rupanya yang sebenar, sama seperti ketika beliau hidup.\u00a0 Apabila melihat Ben Kingsley, kita seolah-olah melihat Gandhi yang sebenar. Pengarahnya, Richard Attenborough, menghabiskan masanya selama lapan tahun untuk mencari pelakon yang memiliki wajah mirip Mahatma Gandhi. Gandhi dijelmakan ke dalam filem setelah 18 tahun Richard Attenborough membuat penyelidikan. Pelakon yang memainkan watak Gandhi itu terpaksa melakukan beberapa latihan dan cara hidup untuk menyesuaikan dirinya dengan diri Mahatma Gandhi. Tidak hairanlah filem Gandhi arahan Richard Attenborough dinobatkan sebagai filem terbaik tahun 1982.\nUntuk tidak melupakan nama dan jasa P. Ramlee, ada pihak tertentu berusaha menyuburkan kembali lagu dan filem karya beliau dan ada pula yang mengabadikan nama P. Ramlee pada tempat atau bangunannya. Persoalannya, cukupkah hanya setakat itu sahaja usaha kita sebagai mengenang jasa seniman agung itu?\nSehubungan itu, ada baiknya kita merenung kata-kata daripada Sidang Pengarang Dewan Masyarakat, Jun 1973, \u201cMembalas budi seniman P. Ramlee yang demikian besar bukan sekadar menyebut namanya, bukan sekadar meletakkan namanya pada tempat-tempat dan bangunan atau jalan raya. Tetapi lebih daripada itu, iaitu berusaha memadamkan kepedihan kehidupan yang dilaluinya sehingga dia terpaksa mengabadikan kehidupan diri kepada golongan pemeras yang menjadi kaya oleh bakatnya yang besar itu.\u201d\nJadi, sejauh manakah kita telah berusaha untuk lari dan tidak menjadi mangsa seperti yang dialami oleh P. Ramlee? Inilah persoalannya yang perlu dijawab apabila kita cuba membicarakan tentang P. Ramlee dan dunianya.\u00a0 Persoalan ini bukan sahaja berkaitan dengan sosiobudaya, tetapi menjadi persoalan ekonomi dan politik." "\u201cSaka\u201d dalam Konteks Pengubatan Islam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMakhluk halus yang dikenali sebagai \u201csaka\u201d ialah pendamping yang terdiri dalam kelompok jin atau syaitan yang pernah berkhidmat kepada pemiliknya (manusia), manakala perkataan saka dalam konteks bahasa bermaksud \u201cleluhur\u201d atau \u201cpusaka\u201d. Pemilikan makhluk halus tersebut boleh berlaku secara sedar atau tanpa sedar. Pada masa dahulu, pemilikan makhluk halus oleh seseorang adalah berdasarkan fungsi, tugas, termasuklah menjadi pembantu atau pelindung diri dan keluarga bagi mereka yang berkepentingan dan berhajat. Sebagai misalnya, makhluk halus yang ditugaskan untuk menjadi perantaraan dalam mengikat kasih sayang antara suami dan isteri, memberi kecantikan wajah, menundukkan pasangan dan sebagainya.\nSebelum menjadi saka, makhluk halus ini disebut sebagai jin khadam, jin peliharaan atau jin suruhan. Namun, setelah pemilik asalnya meninggal dunia atau mahu melepaskan makhluk halus tersebut, makhluk halus mulai disebut sebagai saka atau jin warisan kerana menjadi tinggalan sama ada diwarisi secara rasmi atau tanpa disedari oleh individu yang bakal menerimanya.\nPewarisan saka yang diadakan secara rasmi antara pemilik makhluk halus dengan penerima pada kebiasaannya akan memasukkan elemen ritual dan upacara akad (pengijazahan) sebagai tanda setuju menerima makhluk halus tersebut. Kadangkala, pemiliknya menyerahkan beberapa barangan sebagai tanda persetujuan seperi pemberian alat pusaka termasuklah barangan tembaga, cincin, keris, serunai, rebab, patung wayang kulit, dan kain berwarna kuning atau hitam kepada orang yang sanggup mewarisi saka. Bagi menjaga hubungan baik dengan makhluk halus tersebut, individu itu haruslah mematuhi segala pantang larang dan syarat-syaratnya. Sebagai misalnya, mengasapi alat pusaka dengan kemenyan pada masa dan hari tertentu, atau mengadakan sajian pemujaan seperti buang ancak atau berjamu. Sekiranya syarat itu tidak dilaksanakan, dipercayai orang tersebut akan mendapat penyakit hasil gangguan daripada makhluk halus tersebut.\nSekiranya pemilik saka telah meninggal dunia, dan tidak berlaku proses pewarisan saka,\u00a0 dipercayai bahawa saka tersebut akan memilih sendiri ahli keluarga pemilik, yang dirasakan sesuai untuk \u201cmenumpang\u201d atau tinggal bersama-sama dengannya. Selain keturunan, saka juga boleh berpindah kepada sahabat atau orang yang pernah akrab dan rapat dengan pemilik saka. Dalam kes ini, orang tersebut langsung tidak menyedari kewujudan saka pada dirinya, melainkan diperlihatkan setelah mendapat gangguan daripada makhluk tersebut. Gangguan saka mempunyai beberapa tanda semasa sedar atau sewaktu tidur. Antara tanda-tanda gangguan saka semasa sedar termasuklah gangguan pada emosi termasuklah tidak dapat mengawal kemarahan, kesedihan tanpa mempunyai sebab, hilang keyakinan diri, dan hilang daya tumpuan, mengalami kesesakan nafas dan keletihan tanpa diketahui puncanya; mendengar bisikan di telinga tanpa diketahui individu yang menyampaikan; mengalami gangguan rumah tangga seperti membenci pasangan dan tertutupnya keinginan bersama pasangan, serta mengabaikan perintah yang disyariatkan dalam agama Islam seperti solat atau sering melakukan kemaksiatan yang dilarang dalam agama.\nAntara tanda gangguan saka sewaktu tidur termasuklah mimpi melihat anjing, unta dan ular, mimpi melihat jelmaan makhluk yang mengerikan, memperkenalkan diri lalu mengajarkannya untuk berbuat syirik atau memberi tunjuk ajar cara-cara rawatan yang menyalahi syariat Islam, mimpi ahli keluarga yang telah meninggal dunia dalam keadaan menyerahkan benda yang dipercayai mempunyai kuasa luar biasa (keramat), \u00a0mimpi berada di kawasan perkuburan, lemas di tengah-tengah lautan atau sungai, atau sesat di hutan seorang diri, mimpi jatuh dari tempat tinggi, mimpi berada di kawasan kotor atau kawasan pembuangan sampah, dan mimpi melihat bayi atau menyusukan bayi tersebut (khusus kepada wanita).\nBahaya bakal timbul sekiranya perpindahan saka kepada individu atau kepada individu yang kurang faham tentang kewujudan atau keberadaan makhluk halus tersebut. Saka itu akan bertindak memunculkan diri dalam pelbagai bentuk sama ada dalam perwatakan orang alim (berjubah, berkopiah, berserban) atau mendakwa dirinya para wali. Penjelmaan tersebut memungkinkan individu tersebut mempercayai setiap arahan, suruhan atau segala perintah makhluk halus itu sehingga wujudnya amalan yang bercanggah dalam syariat Islam.\nNamun begitu, tidak keseluruhan para bomoh atau bidan yang mempunyai saka kerana kemahiran dalam mengubat tidak semestinya diperoleh daripada \u201cpenjajian leluhur\u201d dengan makhluk halus, tetapi kepandaian itu hasil usahanya atau pelajaran yang diterima daripada guru. Pelajaran mengubat itu termasuklah menguasai tentang kaedah, cara, jenis ubat-ubatan serta jampi yang disyariatkan dalam Islam. Misalnya, bomoh patah berkemahiran untuk memulihkan tulang yang patah, bomoh urat berkemahiran untuk memulihkan sendi atau urat yang terseliuh, manakala bidan berkemahiran memulihkan kesihatan wanita yang bersalin.\nSebahagian besar, kepercayaan tentang adanya saka dalam badan atau dalam keturunannya \u00a0masih tidak diketahui oleh masyarakat umum, terutama mereka yang selalu terkena penyakit misteri, pengsan secara tiba-tiba, atau sering mengalami kerasukan makhluk halus. Antara kesan lain gangguan saka kepada diri seseorang termasuklah kesukaran untuk mendapatkan zuriat, mengalami penyakit yang tidak dapat dikesan oleh pengubatan moden, atau lebih cenderung untuk bersendirian tanpa melibatkan diri dalam aktiviti sosial atau bermasyarakat.\nTerdapat nama-nama saka berdasarkan ilmu yang dituntut oleh para pengamal seperti saka kebal, saka penggerun, saka kasih sayang, saka seri muka, saka pukau, saka kuat nafsu, saka kuat kerja, saka buluh perindu (suara menjadi lunak atau merdu), saka pelaris, saka syarat tubuh, saka penunduk, saka pagar rumah, saka halimunan (atau dalam ilmu kebatinan disebut ilmu angbah jumantara), dan saka silat. Selain itu, ada juga nama-nama saka berdasarkan jenis jin yang dibela atau dijadikan khadam. Misalnya, saka hantu raya, saka jembalang, saka bajang, saka ular, saka buaya, dan saka harimau. Untuk saka harimau, saka ular atau saka buaya, makhluk halus itu digunakan untuk tujuan menjinakkan binatang tersebut.\nAda juga jenis saka yang digunakan bagi tujuan pengubatan, persilatan atau pendinding diri. Misalnya, saka hantu raya digunakan bagi tujuan pengubatan, memagar rumah atau kebun, mengusahakan tanaman di ladang dan kebun, pendinding diri, penghalang daripada diganggu oleh musuh, malah sebagai pembantu dalam urusan pekerjaan. Orang yang mahu mendapatkan saka hantu raya biasanya akan mengadakan beberapa amalan ritual yang disertai dengan bacaan mantera, seperti berikut;\nHei si hantu raya,\nEngkau taat perintahku,\nIkut segala perintahku.\nHei si hantu raya,\nMenyerupai engkau serupa aku,\nMenyerupai engkau dalam diriku,\nJangan engkau langgar perintahku .\n\u00a0\nRawatan pemulihan untuk mengubati orang yang diganggu saka atau kaedah membuang saka mempunyai beberapa cara. Pada masa dahulu, kaedah pembuangan saka dan gangguan makhluk halus menggunakan pengubatan ritual seperti main puteri (main teri), bagih dan ulik mayang. Namun begitu, perbuatan ini \u00a0jelas menyalahi syariat Islam kerana mengandungi amalan tahyul dan khurafat, malah tidak diajar dalam sunah Rasulullah SAW. Oleh itu, Islam menggariskan beberapa cara dan kaedah rawatan yang bertepatan dengan syariat dan hukumnya.\nSebagai misalnya, Pusat Rawatan Islam al-Hidayah secara keseluruhannya menggunakan ayat-ayat suci al-Quran dalam proses rawatannya. Selain itu, pesakit juga disarankan untuk mengamalkan beberapa ayat al-Quran bagi tujuan mencegah dan mengusir saka daripada badannya. Misalnya, dibacakan dan diamalkan Surah al-Zumar 39:59 \u2212 75, Surah al-Mu\u2019minun 23:105 \u2212 118, Surah al-Baqarah 2:1 \u2212 20, dan Surah ar-Ra\u2019d 13:30 \u2212 43.\nAmalan secara bacaan al-Quran juga ditetapkan dalam beberapa kaedahnya. Misalnya, bacaan pertama dimulakan dengan surah Ar-Ra\u2019d 13:30 \u2212 43. Surah itu harus dibaca sebanyak tiga kali berturut-turut pada waktu malam (selepas isyak), manakala bacaan kedua adalah dengan mengamalkan surah al-Mu\u2019minun 23:105 \u2212 118 yang harus dibacakan sebanyak tiga kali berturut-turut pada waktu siang. Amalan itu mesti diteruskan selama tempoh empat minggu berturut-turut.\nSelain itu, kaedah yang lain juga digunakan oleh sebahagian perawat. Kaedah ini perlu dibuat oleh pesakit atau orang yang mahu membuang saka. Kaedah pertama ialah dengan mendirikan solat hajat berserta bacaan Surah al-Fatihah, Surah al-Baqarah 2:255 (ayat Kursi), Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq, dan Surah an-Nas. Setelah selesai solat hajat, pesakit disarankan untuk melafazkan tasbih, takbir dan membaca Surah al-Fatihah sebanyak 21 kali, serta diakhiri dengan doa atau disebut sebagai doa pengisytiharan. Misalnya, \u201cYa Allah, aku tiada lagi hubungan dengan makhluk jin atau khadam yang berada bersama-sama aku dan harta benda aku. Hanya kepada-Mu ya Rabb aku memohon pertolongan dan kepada-Mu jua aku kembali.\u201d\nKaedah seterusnya ialah membuang semua barang atau alat pusaka yang dimiliki oleh pesakit. Pada kebiasaannya, benda pusaka yang dipercayai mempunyai makhluk halus telah dipasung sebelum ini oleh pemiliknya. Maka, pasungan itu perlu dileraikan oleh pengubat dengan membacakan Surah al-Fatihah sebanyak satu kali yang disertai dengan Surah al-Fath, dan Surah al-Furqan. Secara keseluruhan, saka itu akan meninggalkan tubuh badan pesakit, bergantung keizinan dan kekuasaan Allah SWT.\n\u00a0\nPERINGATAN: Paparan mantera adalah sebagai contoh bacaan semata-mata. Mantera yang dipaparkan dilarang untuk diamalkan oleh pembaca." "Meriahnya \u201cHari Raya\u201c Samurai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Setiap negara di seluruh dunia pastinya memiliki perayaan tertentu yang menjadi tradisi sejak zaman nenek moyang sehingga menjadi tradisi bagi masyarakat pada masa ini. Perayaan tradisi ini disambut dengan meriah setiap tahun tanpa gagal walaupun mencecah ribuan tahun lamanya. Hal ini dapat dilihat dalam kalangan masyarakat Jepun yang tetap menyambut perayaan tradisi tertentu dan mempertahankannya hingga kini.\nAtas dasar itu, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan program bual bicara Cakna Ilmu Luar Jendela yang bertajuk \u201cHari Raya Samurai\u201c yang disiarkan secara langsung di Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Program yang disiarkan pada 25 September 2021 itu menampilkan secara eksklusif empat orang gadis dari Tokyo, Jepun, iaitu Suzuna Matsuoka, Yuri Nakatani, Yumena Hosokai dan Miki Kobayashi, untuk berkongsi pengalaman tentang perayaan unik yang menjadi tradisi oleh masyarakat di sana. Yang menariknya, keempat-empat gadis Jepun ini amat fasih berbicara dalam bahasa Melayu ketika menceritakan setiap perayaan tersebut.\nMenurut Suzuna Matsuoka, atau Suziena, perayaan yang diraikan oleh masyarakat Jepun hingga kini ialah \u201cSetsubun\u201c dan \u201cHinamatsuri\u201c. Perayaan ini disambut sebagai kepercayaan menghalau unsur kejahatan pada setiap permulaan musim bunga dalam kalendar lama Jepun. Menurut kepercayaan masyarakat Jepun, musim bunga merupakan permulaan tahun baharu dan mereka perlu menghalau \u201croh\u201c jahat untuk mengelakkan bencana pada tahun tersebut.\n\u201cOrang Jepun menghasilkan anak patung yang diperbuat daripada kertas dan mengusap badan mereka dengan patung tersebut. Kemudian, patung itu dilepaskan di sungai untuk menghalau unsur jahat ke tempat lain. Itulah permulaan sambutan \u2018setsubun\u2019 dan \u2018hinamatsuri\u2019,\u201c kata Suziena.\nManakala bagi Yuri Nakatani, atau Yarna, pesta salji turut disambut oleh masyarakat Jepun, terutamanya di kawasan utara Jepun. Pesta salji ini disambut dengan pelbagai aktiviti, antaranya termasuklah seni membuat patung salji.\n\u201cPesta salji paling terkenal di Jepun ialah Pesta Salji Sapporo yang diadakan di wilayah Hokkaido. Pesta tersebut pernah dihadiri hampir 50 ribu pengunjung untuk melihat patung yang diperbuat daripada salji. Pesta salji di sini menjadi terkenal pada tahun 1972 kerana acara Olimpik musim sejuk diadakan di Sapporo pada tahun tersebut,\u201c kata Yarna.\nBagi Yumena Hosokai, atau Yunaidah, pula, perayaan yang menarik di Jepun ialah Shichigosan dan Shougatsu. Shichigosan merupakan upacara untuk mendoakan kesihatan kanak-kanak di Jepun, manakala Shougatsu merupakan perayaan tradisional paling lama di Jepun yang wujud sebelum abad ke-6.\n\u201cShichi maknanya tujuh, go maknanya lima dan san maknanya tiga dalam bahasa Melayu. Jadi kanak-kanak berumur tujuh, lima dan tiga tahun diraikan dalam Shichigosan.\u00a0 Perayaan Shougatsu pula adalah untuk menyambut \u2018Toshigamisama\u2019. \u2018Toshigamisama\u2019 ialah tuhan yang datang pada tahun baharu dan berjanji bahawa tanaman akan tumbuh dengan banyak dan setiap keluarga akan hidup dengan sihat,\u201c ujar Yunaidah.\nAkhir sekali, Miki Kobayashi, atau Mardiah, turut berkongsi pengalaman menyambut perayaan Tanabata, Obon yang disambut oleh orang Jepun tidak kira usia atau wilayah.\u00a0 Tanabata ialah Perayaan Bintang yang berkaitan dengan musim di Jepun, manakala Obon pula berkaitan \u00a0dengan peristiwa agama Buddha yang disebut \u201cUrabone\u201d, yang dicatay pada tahun 606 Masihi.\n\u201cPada hari sambutan Tanabata, orang menggantung sehelai kertas yang tercatat keinginan dan harapan mereka pada daun buluh. Buluh juga merupakan simbol daya hidup kerana tumbuh dengan sangat cepat dan daunnya mempunyai kekuatan pensterilan sehingga dianggap sebagai\u00a0 suci sejak zaman kuno, seperti digunakan sebagai azimat,\u201c ujar Mardiah.\nPerkongsian tentang perayaan tradisional masyarakat Jepun ini jelas menunjukkan bahawa budaya dan tradisi sewajarnya dihargai dan dikekalkan hingga kini, terutamanya oleh generasi muda. Hal ini seharusnya dijadikan sebagai pengajaran oleh masyarakat Malaysia bahawa betapa pentingnya budaya dan tradisi dalam membentuk jati diri dan identiti agar tidak mudah terpengaruh dengan anasir luar." "\u201cKita Terhutang Budi kepada Orang Asli,\u201d \u2013 Profesor Emeritus Dr. Hood Mohd Salleh\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSesi wacana anjuran Muzium Warisan Akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diadakan pada 21 September 2021 yang lalu membicarakan berkenaan isu seputar keperluan mempertingkatkan lagi keupayaan masyarakat orang asli agar pencapaian mereka dalam kehidupan adalah sama sahaja dengan semua warganegara yang lain.\nMuzium Warisan Akademik dengan kerjasama Perpustakaan Tun Seri Lanang, Universiti Kebangsaan Malaysia kali ini melangsungkan Webinar bertajuk Orang Asli: Asal Usul Orang Melayu? & Komunikasi Tradisi Lisan yang menampilkan mantan Pengarah Muzium Warisan Akademik, UKM sendiri iaitu Profesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Hood Mohd Salleh sebagai pembicara.\n\u201cPemikiran orang luar, termasuk orang Melayu juga hampir bankrap terhadap cara terbaik untuk meningkatkan kedudukan orang asli. Sudah lebih 70 tahun akta orang asli itu digunakan, tapi bagaimana kedudukan orang asli pada masa kini? Ada beberapa orang asli yang berjaya tapi tidak cukup, tidak ramai. Yang penting adalah supaya rakyat orang asli diberi kesempatan, diberi satu macam persepsi untuk lebih positif lagi. Yang kelima, rahsia menggerakkan masyarakat orang asli adalah kini melalui (dengan cara) memperkasakannya,\u201d ujar Profesor Emeritus Dr. Hood.\n\u201cOrang asli dan orang luar harus merapatkan diri dengan didikan yang lebih hebat lagi seperti yang telah diberikan kepada orang Melayu pada tahun 1971. Masyarakat itu boleh diubahsuai dan distrukturkan kedudukannya supaya mereka dapat capai kemudahan-kemudahan yang sesuai untuk membangun. Memang juga, bagi pendirian saya, kita terhutang kepada orang asli. Bila hendak kita tunaikan hutang itu? Bilakah kita nak bincang secara serius tentang tanah yang dituntut oleh orang asli? Alam sekitar yang juga selalu terceroboh,\u201d tegas Prof. Dr. Hood dalam sesi yang diadakan melalui saluran Google Meet dan siaran langsung Facebook Muzium Warisan Akademik UKM itu.\nKatanya lagi, \u201cSejarah orang asli sebaik-baiknya ditulis oleh orang asli sendiri. Saya percaya bahawa proses itu sudah dimulakan. Kita kena lihat cara mana kita melihat orang asli dalam kerangka sejarah kita. Kita lihat dan perincikan zaman peralihan, zaman kolonial, zaman akta, dan dunia kecil mereka di belantara. Orang asli juga perlu diberi persepsi yang lebih positif lagi.\u201d\nTurut dipaparkan kehidupan kaum Semelai di Tasek Bera yang pernah menjadi subjek kajian beliau bersama pelajar UKM satu ketika dulu. Mahatchina mewakili kaum orang asli sendiri, beliau dari kaum Semai yang juga merupakan seorang penulis, menyuarakan tentang keadaan anak-anak muda orang asli yang dibiarkan hanyut dengan kerosakan dan pelbagai gejala negatif yang berlaku. Perlu ada banyak program yang bermanfaat, misalnya peraduan menulis dalam kalangan anak-anak sekolah orang asli. Baginya, tak perlu diberikan hadiah lumayan, cukup sekadar hadiah kecil dan biasa tapi yang lebih penting program itu ada untuk mengisi kekosongan waktu. Cara untuk meningkatkan martabat orang asli juga turut dibincangkan dalam sesi yang berlangsung lebih 3 jam itu. Turut diperkatakan ialah berkenaan istilah orang asli dan peribumi yang dikatakan sudah lapuk.\nPada akhir sesi, ada antara penonton yang bertanyakan perihal berkaitan dengan orang asli yang tidak menjadi agenda utama untuk dibincangkan, sedangkan wujud Majlis Profesor Negara. Bagi Profesor Hood, walaupun tidak menjadi ahli majlis dan cukup sebagai Profesor sahaja, jika dia ingin bertindak dan melakukan sesuatu terhadap kelompok orang asli, dia tetap boleh melakukannya." "Pengaruh Sumber Sarjana China Dalam Tamadun Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Arkib Negara Malaysia telah menganjurkan Majlis Polemik Sejarah Malaysia sesi ke-47 yang diadakan pada 28 September 2021. Tajuk \u00a0program ini ialah \u201cTamadun Awal Negara Dari Perspektif Sumber Sarjana China\u201d. Program tersebut diadakan secara atas talian di Facebook Arkib Negara Malaysia. Dr. Mardiana Nordin bertindak selaku moderator dalam program tersebut.\nTujuan program tersebut diadakan adalah untuk memberikan pengetahuan kepada masyarakat tentang pengaruh sumber sarjana China kepada tamadun negara. Program tersebut menampilkan tiga \u00a0orang ahli panel iaitu Dato\u2019 Goh Hin San, Presiden Persatuan Kebudayaan Han Malaysia; Dr. Nasha Rodziadi Khaw, pensyarah Universiti Sains Malaysia dan Muhammad Suhail Ahmad yang merupakan Pengerusi Kelab Generasi Pemuda Tamadun Dunia. Program itu disertai oleh ahli akademik dari dalam dan luar negara.\nPada peringkat pertama perbincangan, Dato\u2019 Goh Hin San menerangkan tentang sejarah kedatangan tamadun China ke Tanah Melayu. Tamadun China mempunyai hubungan perdagangan dengan kerajaan tamadun Kedah Tua. Hal ini dapat dibuktikan dengan penemuan relau peleburan besi di tapak arkeologi Sungai Batu. Tapak peleburan besi itu berasal dari tahun 672 Masihi. Selain itu, pelayar terkenal China, Yi Jing belayar ke Pelabuhan Palembang pada tahun 671 Masihi. Beliau tiba 11 tahun lebih awal dari penubuhan kerajaan Sriwijaya. Kemudian, beliau meneruskan pelayaran ke Semenanjung Tanah Melayu dan singgah di Sungai Batu, Kedah. Catatan yang dibuat oleh Yi Jing telah membuktikan bahawa Kedah Tua telah menjadi pusat perdagangan yang penting dari barat dan timur.\nPada peringkat kedua perbincangan, Dr. Nasha menerangkan bahawa Semenanjung Tanah Melayu memiliki lokasi geostrategik yang terletak antara laluan perdagangan China dan India. Kesibukan laluan perdagangan Selat Melaka dan Laut China Selatan ini telah menyebabkan berlakunya proses urbanisasi dan perkembangan ekonomi yang pesat di Semenanjung Tanah Melayu. Hubungan ufti antara China dan kerajaan Nusantara memberika keuntungan kepada kedua-dua belah pihak dari sudut ekonomi dan politik kerana keadaan itu memberikan monopoli perdagangan yang amat menguntungkan kepada kedua-dua belah pihak.\nPada peringkat terakhir perbincangan, Muhammad Suhail Ahmad menerangkan bahawa tentang Tugu Bukit Pelindung Negara yang dikurniakan oleh kerajaan Dinasti Ming kepada Kesultanan Melayu Melaka yang ditadbir oleh Parameswara. Anugerah itu bukan sahaja mengeratkan lagi hubungan diplomatik antara kedua-dua kerajaan tersebut bahkan mengiktiraf kedaulatan kerajaan Melaka sekali gus menghidari ancaman dari kerajaan Siam Ayutthya. Namun begitu, tiada bukti penemuan arkeologi untuk membuktikan kewujudan artifak ini. Walau bagaimanapun, petikan \u00a0penuh artifak itu dapat ditemui dalam rekod rasmi Dinasti Ming iaitu Ming Shi Lu. Bukan itu sahaja, artifak ini turut menjadi subjek utama perbincangan dalam kalangan ahli sejarah sejak dari dahulu lagi.\nProgram tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat. Semoga program seperti ini dapat diteruskan untuk memberikan pendedahan dan ilmu kepada masyarakat." "Filem Propaganda Era Pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan Pengaruhnya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPropaganda merupakan paparan maklumat yang terkandung dalam karya filem yang mempunyai kuasa untuk mempengaruhi masyarakat. Dengan propaganda, berlakulah pemanipulasian fakta atau hujah yang menimbulkan khabar angin dan fitnah. Propaganda juga dikaitkan dengan pembohongan. Jadi sesebuah karya seperti filem dimanipulasikan bertujuan untuk menangkap atau menerap yang menimbulkan satu kesan yang kuat kepada penonton filem tersebut. Segala paparan imej menampilkan deretan simbol watak-watak yang bertujuan menggugah dunia melalui paparan kekuasaannya. Ia dilakukan secara sistematik dengan menebarkan indoktrinasi tertentu bertujuan \u2018menangkap jiwa\u2019 sang penonton walaupun apa yang dipaparkan dalam sesebuah filem itu tidak benar. Kesannya akan mempengaruhi fikiran penonton, mengubah kepercayaan, mengubah sikap dan tindakan penonton.\nTanah Melayu sebelum era penjajahan Jepun, banyak filem diimport dari Barat dan Eropah, termasuk dari India. Apabila Jepun menghampiri dan menduduki Tanah Melayu, slogan yang biasa dikumandangkan ialah Asia untuk Orang Asia, iaitu Asia Raya yang bertujuan menyatukan Asia di bawah bendera Jepun. Mereka hendak mencelikkan rakyat bahawa kita telah dijajah oleh Barat atau kolonial Inggeris. Mereka hendak kita buka mata, yakin dan boleh berdikari dengan membebaskan diri daripada Inggeris. Persoalannya, apakah itu benar dan adakah itu sebenarnya niat pentadbiran Jepun apabila membebaskan Tanah Melayu pada waktu itu? Sedangkan ada sisi-sisi yang mengawal yang menyebabkan kita patuh kepada dasar-dasar, perintah dan permintaan Jepun. Maka berlakulah pemasyarakatan budaya Jepun terhadap masyarakat kita.\nPerkara pertama yang Jepun lakukan ialah mengubah sistem pendidikan apabila mereka mengajar bahasa Jepun dan mengubah kurikulum dan disiplinnya. Maknanya untuk menjadi Asia untuk Orang Asia, hendaklah belajar bahasa Jepun. Ini salah satu propaganda yang terbukti berlaku.\nApabila berjaya menakluki Tanah Melayu, pentadbiran tentera Jepun telah menubuhkan Niphon Eiga Haikya Sha pada 31 Mac 1942 di Singapura yang merupakan badan penyiaran termasuk filem yang mengawal semua siaran dan semua pawagam tertakluk kepada arahan Jepun. \u00a0Pada 16 Februari 1942, semua tayangan filem dihentikan. Hanya filem yang akur dengan syarat akan ditayangkan. Semua filem Amerika, India dan Barat lain yang diimport sebelum Perang Dunia Kedua ditapis sebelum ditayangkan. Unsur-unsur propaganda Barat dibuang.\u00a0 Bermula pada bulan Mac 1942, 40 hingga 50 buah filem Jepun diimport masuk melalui Singapura dan Jakarta dan ditayangkan.\nPerkara ini diakui oleh Fadhli Al-Akiti, Editor majalah Dewan Sastera,\u00a0 sebagai panel khas Wacana Sosiobudaya Peradaban yang dianjurkan oleh Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) pada 25 September lalu. Beliau juga merupakan ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan pernah diundang menyampaikan ulasan filem di Gala TV Plus di Astro Awani. Malah, beliau pernah dilantik sebagai panel hakim untuk Festival Filem Malaysia ke-25. Fadhli telah diberikan penghormatan sebagai tokoh pertama oleh PERADABAN sebagai pembicara tamu bagi merintis dan menjayakan program Wacana Sosiobudaya Peradaban kali pertama ini.\nSejak tahun 1929, Jepun memperkenalkan Undang-undang Wayang Gambar yang dikenali sebagai Eigo Ho. Mereka memaparkan filem yang mengisi nilai propaganda yang tinggi mengandungi pengajaran moral dan indoktrinasi politik (Asia untuk Orang Asia) termasuklah penerapan semangat mengorbankan diri atau hara kiri dalam peperangan, tambah Fadhli.\nPada bulan Julai 1938, di negara Jepun; syarat-syarat pembikinan filem telah dikawal. Kesemua idea individualistik Barat telah dihapuskan dan semangat Jepun, misalnya ketaatan kepada maharaja Jepun, keluhuran sistem kekeluargaan dan semangat korban diri untuk negara dan masyarakat telah diterapkan. Cara hidup pihak Barat dihindarkan, tingkah laku tidak sopan khususnya dalam kalangan wanita dilenyapkan dan mereka meningkatkan rasa hormat kepada maharaja dan orang tua mereka.\nPada tahun 1942, beberapa syarat tambahan diperkenalkan. Setiap lakon layar yang berunsur hiburan mesti bertema positif (anti pesimis) dan para pelawak disekat jika melampaui batas. Selain itu, perkara yang dilarang termasuklah kisah orang borjuis, kisah individu semata-mata, wanita perokok dan adegan di kafe seperti minum arak, dan kelakuan tidak senonoh yang lain yang biasa dipaparkan dalam filem Barat. Antara perkara yang disarankan ialah paparan sektor produktif dalam masyarakat, dan kisah kehidupan di luar bandar. Filem yang menepati syarat diletakkan taraf sebagai filem \u2018negara\u2019 dan disebarkan untuk tayangan umum.\nUntuk menjayakan perkara ini, mereka melakukan tapisan skrip praproduksi dan mengubah serta menulis semula skrip yang bermasalah. Oleh sebab syarat yang ketat tersebut, selain filem import, berita dan dokumentari, hanya dua filem cereka propaganda dibuat di Tanah Melayu, iaitu Shingaporu Sokogeki (Serangan Singapura) (1943), arahan Koji Shima. Filem ini memaparkan kemaraan tentera Jepun dari Kelantan hingga Singapura. Marai No Tora (Harimau Malaya) (1943) diarahkan oleh Koga Masato. Marai No Tora berdasarkan kisah sebenar lelaki Jepun bernama Tani Yukata, ejen Jepun (asal Terengganu) di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua yang mati kerana demam malaria di hospital Singapura. Pihak luar meletakkan Tani Yukata sebagai penjahat manakala Jepun menganggapnya sebagai wira atau pejuang mereka. Tani Yukata ialah agen perisikan tentera Jepun. Filem-filem ini bersikap \u2018menjual\u2019 kejayaan Jepun pada waktu itu.\nBerdasarkan pengamatan Fadhli, tiga orang tokoh perfileman Jepun pada waktu itu ialah Kenji Mizoguchi, Yasujiro Ozu dan Akira Kurosawa. Kenji Mizoguchi (1898-1956), memaparkan filem berunsur epik, sosiodrama dan realisme, contohnya\u00a0 The 47 Ronin (1941). Filem ini menaikkan semangat rakyat Jepun untuk keluar dari Jepun bagi menakluki negara lain. \u00a0Yasujiro Ozu (1903-1963) pula berminat kepada filem bertema kekeluargaan atau sosiodrama. Antara filem beliau ialah Brothers and Sisters of the Toda Family (1941). Akira Kurosawa (1910-1998) pula dianggap paling berpengaruh dalam kalangan pembikin filem Melayu dan menghasilkan filem, antaranya berjudul Sanshiro Sugata (1943/1945).\nFilem-filem Jepun meninggalkan pengaruh kuat kepada perfileman Melayu selepas era pendudukan Jepun. Filem Sanshiro Sugata (1943/1945) yang mengangkat seni bela diri Jepun misalnya telah diadaptasi ke dalam filem Pendekar Bujang Lapok (1959) dan Kanchan Tirana (1969) arahan P. Ramlee. Filem Rashomon (1950) pula mempengaruhi filem Semerah Padi\u00a0 (1956) juga arahan P. Ramlee dan Throne of Blood (1957) diadaptasi ke dalam filem Istana Berdarah (1964) arahan Hussein Haniff.\nMenurut Fadhli, umumnya filem era Jepun ini dilupakan dan makin dilupakan dan tidak banyak diperkatakan. Aiko Kurasawa (1987), seorang tentera Jepun mengatakan filem propaganda Jepun ini untuk minshin ha\u2019aku (menawan jiwa massa) yang mempengaruhi dan \u2018menjinakkan\u2019 (senbu kosaku) masyarakat Tanah Melayu. Mereka meletakkan filem sebagai bahan paling berkesan sebagai pendedahan kepada dasar-dasar Jepun walaupun tidak semua filem berjaya melaksanakan peranan propaganda ini. Golongan intelektual atau bandar kurang terkesan tetapi golongan luar bandar atau marhaen agak terkesan dari segi hiburan, tetapi bukan doktrinnya. Hal ini mungkin disebabkan oleh singkatnya masa pendudukan dan pemerintahan Jepun di Tanah Melayu. Namun sudah ada pendedahan budaya, sikap dan falsafah Jepun yang diterapkan pada waktu itu. Dan ini terbukti melalui pengaruh perfileman propaganda Jepun yang diterapkan ke dalam filem Melayu yang diarahkan oleh anak muda Melayu selepas itu.\nWacana ini dirasmikan oleh Dato\u2019 A. Aziz Deraman, Presiden PERADABAN \u00a0dan Kamarulzaman Ismail sebagai moderator." "\u201cTidak Ada Tamadun yang dapat Tumbuh dan Berkembang serta Tersohor Tanpa Landasan Ilmu.\u201d \u2013 Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nDalam usaha untuk melestarikan bidang bahasa, budaya dan kesusateraan Melayu, serta melonjakkan revolusi dunia pendidikan abad ke-21, Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau, Sabah dan Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak, Kota Samarahan, Sarawak, dengan kerjasama Universitas Hasanuddin (UNHAS), Makassar, Indonesia dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Seminar Bahasa, Budaya dan Kesusasteraan Melayu kali keempat (SEBAHTERA IV) pada 29 September hingga 30 September 2021.\nSeminar yang bertemakan \u201cBahasa, Budaya dan Sastera Mendepani Era Revolusi Pendidikan\u201d itu diadakan sebagai daya upaya memperkukuh pengetahuan dan kemahiran pedagogi dalam kaedah pengajaran dan pemudahcaraan, selain merapatkan hubungan setiakawan antara negara serumpun. Ucaptama SEBAHTERA IV disampaikan oleh Profesor Dr. Akin Duli, Dekan Fakultas Ilmu Budaya UNHAS dan Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.\nMenurut Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dalam ucaptamanya yang berjudul Strategi Pemerkayaan Khazanah Persuratan untuk Pemerkasaan Tamadun Melayu, daya hidup sesuatu tamadun banyak bergantung pada perkembangan ilmu dalam pelbagai bidang. Selain perhatian terhadap kepentingan karya ilmiah seperti jurnal dan buku, satu lagi aspek persuratan, iaitu karya kreatif, seperti cerpen, novel, drama dan puisi, turut memiliki nilai ilmu dalam pembinaan sesuatu tamadun.\n\u201cPerhatian terhadap persuratan ilmiah dan karya kreatif sangat penting kerana menjadi ukuran lestarinya dan mantapnya sesuatu tamadun itu apabila kedua-dua aspek persuratan ini dijelmakan dengan sempurna. Hal ini menjadi agenda yang rapat dan berkaitan dengan bidang tugas para peserta SEBAHTERA IV,\u201d kata Profesor Datuk Seri Dr. Awang. Tambah beliau, pemerkayaan khazanah persuratan ialah satu upaya untuk memenuhi matlamat globalisasi dua hala atau seimbang, iaitu globalisasi dari Timur ke Barat sebagai imbangan globalisasi selama ini dari Barat ke Timur. Dalam hal ini, keterbelakangan dalam bidang ilmu dan karya kreatif menjadi salah satu sebab yang menjejaskan daya hidup tamadun, termasuklah tamadun Melayu.\nApabila membicarakan soal hubungan antara ilmu dengan tamadun, Profesor Datuk Seri Dr. Awang menyatakan bahawa ilmu menjadi dasar kemunculan dan penakatan tamadun manusia, berdasarkan bukti daripada sejarah tamadun Yunani, Rumawi, Islam dan lain-lain, termasuklah tamadun Melayu. Berdasarkan rujukan daripada sumber agama seperti al-Quran, hadis, huraian para sarjana seperti Al-Ghazali dan Ibnu Khaldun, suburnya ilmu sesuatu bangsa menjadi salah satu faktor utama daya hidup sesuatu tamadun.\n\u201cTidak ada tamadun yang dapat tumbuh dan berkembang serta tersohor tanpa landasan ilmu. Maka itu, soal memperkaya khazanah ilmu dalam pelbagai bentuk sangat penting dan perlu diberikan perhatian oleh para pendukung tamadun, pemerintah dan sebagainya,\u201d ujar Profesor Datuk Seri Dr. Awang.\nTambah beliau, jika dilihat dalam ketamadunan Melayu, pelbagai ranah ilmu dikembangkan dan disuburkan melalui bahasa Melayu. Pada zaman kesultanan Melayu, selain ilmu tentang keagamaan, muncul juga ilmu duniawi seperti ilmu perubatan, persenjataan dan sejarah. Banyak manuskrip ilmu ini telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai warisan dunia, antaranya termasuklah manuskrip kitab bedil yang diterbitkan oleh DBP, manuskrip pensejarahan Sulalatus Salatin, epik Hang Tuah dan surat-surat Sultan Abdul Hamid Kedah yang mewakili ranah diplomasi. Kebangkitan tamadun Melayu dan kecemerlangan ilmu dalam bahasa Melayu ini sewajarnya dijahit benang kesinambungannya hingga kini.\nDalam ucaptama ini juga, Profesor Datuk Seri Dr. Awang membentangkan cadangan projek penerbitan digital DBP sebagai salah satu usaha memperkaya ilmu persuratan berbentuk digital sebagai wadah menyampaikan ilmu tersebut, bukan sahaja dalam negara, bahkan seluruh dunia. Antara bidang yang ditekankan dalam projek tersebut termasuklah bidang sains dan teknologi; sains sosial dan kemanusiaan; agama, falsafah dan tamadun Islam; bahasa Melayu; sastera dan persuratan Melayu; dan kanak-kanak dan remaja.\nSEBAHTERA IV yang diadakan secara dalam talian melalui perisian Google Meet ini turut membicarakan hal bahasa dan komunikasi, linguistik, kritikan sastera, kesusateraan Melayu Nusantara, kemahiran insaniah, dan pembelajaran abad ke-21. Selain sebagai wahana bagi membentangkan kertas penyelidikan, penganjuran SEBAHTERA IV juga mampu meningkatkan pembudayaan dan pemerkasaan penyelidikan sebagai teras dalam sistem pendidikan dan keilmuan.\nKira-kira 90 orang peserta menyertai SEBAHTERA IV yang terdiri daripada para pensyarah, guru dan warga Kementerian Pendidikan Malaysia, pelajar pascasiswazah dan para penyelidik. Yang turut hadir sama mengikuti ucaptama SEBAHTERA IV ialah Datuk Haji Abang Sallehuddian Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP, Tuan Doti Asing, Pengarah IPGK Keningau, Profesor Dr. Akin Duli, Dekan Fakultas Ilmu Budaya UNHAS, Puan Anis Alisya Abdullah, Pengarah IPGK Tun Abdul Razak, Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah dan Profesor Emeritus Abdullah Hassan." "Yang Indah itu Bahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSELANGOR \u2212 Bahasa mempengaruhi cara manusia berfikir. Pengertian bahasa menurut kebudayaan Melayu meliputi budaya, ketamadunan, akhlak dan tingkah laku. \u201cReti bahasa\u201d merupakan kerangka yang bermaksud tahu bahasa yang betul dari segi fungsi sosial (konteks), fungsi adat (kesantunan dan kesopanan) dan fungsi akhlak (sempurna tutur kata yang mencerminkan kemolekan akhlak).\nKonsep \u201creti bahasa\u201d lebih kepada adat dan akhlak penutur ketika berbahasa, iaitu sikap penutur bahasa Melayu terhadap peraturan tatabahasa dengan tata berbahasa menggunakan bahasa secara betul, sopan dan santun. Maknanya konsep reti bahasa lebih kepada menegur soal tingkah laku, akhlak atau kelakuan penutur ketika bertutur.\n\nDato\u2019 Dr. Hassan Ahmad agak berbeza daripada ahli falsafah yang lain kerana beliau merungkaikan falsafah bahasa Melayu dengan agak terperinci, berdasarkan teoretis dan empirik. \u201cReti bahasa\u201d baginya merupakan satu kerangka historiografi linguistik Melayu yang dapat menjadi alat bagi memahami alur pemikirannya mengenai bahasa dan kebahasaan.\nAda perbezaan dalam pengertian antara tahu bahasa dengan reti bahasa. Tahu bahasa bermaksud orang yang tahu menggunakan bahasa dengan betul dan tepat dari segi fungsi sosial dan fungsi adat. Hal ini bersinonim dengan kecekapan berbahasa (linguistic competence) yang dikemukakan oleh Dell Hymes. Menurut Dato\u2019 Dr. Hasan Ahmad, jika kita gagal menghayati konsep tahu bahasa ini, kita akan gagal menghayati atau salah memilih konteks berbahasa.\n\u201cOleh itu, reti bahasa di sini bukan bererti tidak tahu peraturan tatabahasa tetapi melibatkan kesalahan dari segi adat dan akhlak bagi orang yang bercakap, iaitu adab kita tentang pemilihan perkataan yang tepat dengan menggunakan kalimat yang betul dan sopan.\u201d\nDemikianlah antara penerangan oleh Dr. Mohd Tarmizi Hasrah, dalam sesi pembentangannya yang berjudul \u201cReti Bahasa dalam Pemikiran Hassan Ahmad\u201d selaku ahli panel menerusi yang bersiaran secara langsung menerusi \u201cWebinar Pemikiran Dato\u2019 Dr. Hassan Ahmad (1936-2011)\u201d. Webinar anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) ini telah dirasmikan oleh Datin Paduka Mastura Hj. Muhamad, Pengarah PPAS.\nPanel pembicara lain yang turut hadir ialah Prof. Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain (Falsafah Bahasa Hassan Ahmad), Prof. Emeritus Dato\u2019 Dr Teo Kok Seong (Hassan Ahmad: Linguis Nasionalis Ulung Negara), Prof. Dr. Munif Zarirruddin Fikri Nordin (Bahasa Agama dan Pemikiran Hassan Ahmad tentang Islam dan Cabarannya) dan Tuan Hasni Abas (Pemikiran Positif Hassan Ahmad sebagai Seorang Cendekiawan)." "Warisan Tamadun Kedah Tua\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Jabatan Warisan Malaysia telah menganjurkan Bual Bicara Eksklusif yang diadakan pada 4 Oktober 2021. Tajuk \u00a0program ini ialah \u201cKedah Tua: Warisan Tamadun Silam\u201d. Program tersebut diadakan secara atas talian di Jabatan Warisan Malaysia. Noorazrene Mohd Noor bertindak selaku moderator dalam program tersebut.\nTujuan program tersebut diadakan adalah untuk memberikan pengetahuan kepada masyarakat tentang penemuan kajian arkeologi di Bukit Choras dan Cherok Tok Kun yang mempunyai kaitan dengan kerajaan Kedah Tua. Program tersebut menampilkan \u00a0seorang ahli panel iaitu Dr. Nasha Rodziadi Khaw yang merupakan pensyarah Universiti Sains Malaysia. Program itu disertai oleh ahli akademik dari dalam dan luar negara.\nPada peringkat pertama perbincangan, Dr. Nasha menerangkan tentang sejarah kewujudan kerajaan Kedah Tua. Kerajaan Kedah Tua merupakan pusat perdagangan yang terkenal di seantero dunia kerana terletak di antara laluan perdagangan timur dan barat. Tamadun kerajaan Kedah Tua juga menjadi tempat persinggahan mubaligh Buddha dan secara tidak langsung menjadikan Kedah Tua sebagai pusat penyebaran agama Buddha.\nPada peringkat kedua perbincangan, beliau menerangkan bahawa kewujudan candi dan artifak di Lembah Bujang dan kawasan sekitarnya disebabkan oleh kemajuan teknologi besi pada zaman kerajaan Kedah Tua. Hal ini dapat dibuktikan dengan penemuan relau peleburan besi di tapak arkeologi Sungai Batu.Tapak peleburan besi itu berasal dari tahun 672 Masihi. Keadaan itu secara tidak langsung menjadikan penemuan arkeologi batu bersurat di Cherok Tok Kun mempunyai kaitan dengan kerajaan Kedah Tua kerana kawasan Seberang Perai Utara merupakan kawasan paling selatan kerajaan Kedah Tua. Selain itu, batu bersurat itu menggunakan bahasa Sanskrit dan tulisan Pallava grantha. Hal ini membuktikan bahawa Kedah Tua telah menjadi pusat perdagangan yang penting dari barat dan timur.\nProgram tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat. Semoga program seperti ini dapat diteruskan untuk memberikan pendedahan dan ilmu kepada masyarakat." "Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 Berjumlah RM1 Juta Boleh Ditebus di Aplikasi Shopee Bermula 22 Oktober\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Kerajaan Selangor meneruskan pemberian subsidi Baucar Pelancongan Negeri Selangor setelah edisi pertama yang diedarkan pada Januari lalu menerima sambutan yang hangat daripada orang ramai. Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 merupakan salah satu insentif dalam Pakej Kita Selangor 2.0 yang telah diumumkan oleh Dato\u2019 Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor yang memperuntukkan sebanyak RM 2.55 juta kepada industri pelancongan Selangor.\nSebanyak RM1 juta \u00a0telah diperuntukkan untuk Subsidi Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0\u00a0 merangkumi 10 000 unit baucar bernilai RM100 setiap satu yang akan ditawarkan kepada umum menerusi aplikasi e-dagang terkemuka; Shopee bermula 22 Oktober 2021 sehingga 31 Disember 2021, atau sehingga baucar pembelian habis ditebus. Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 ini boleh digunakan untuk membeli pakej pelancongan negeri ini yang ditawarkan secara khusus oleh 28 Agensi Pelancongan Negeri Selangor yang mengambil bahagian dalam edisi kali ini. Tempoh perjalanan atau penggunaan baucar pula bermula dari 22 Oktober 2021 sehingga 30 Jun 2022.\nMajlis pelancaran itu telah berlansung di Sunway Lagoon yang merupakan taman tema terbesar di Malaysia dan turut disiarkan secara langsung menerusi laman media sosial rasmi Facebook Tourism Selangor. Majlis itu telah disempurnakan oleh Hee Loy Sian, EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor. Barisan tetamu kehormat memeriahkan majlis ialah Azrul Shah Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor; Ishak Maulan, Penolong Pengarah Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor; dan Calvin Ho, Pengarah Eksekutif Sunway Theme Parks.\nHee Loy Sian berharap agar pemberian baucar itu dapat merancakkan semula industri pelancongan di Selangor. \u00a0Beliau juga menyeru kepada semua pengusaha industri pelancongan Selangor menyokong Kempen \u201cPusing Selangor Dulu!\u201c dan \u201cSplendid Selangor; Take me Anywhere!\u201c yang sedang giat dijalankan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui pihak Tourism Selangor.\nKempen Pusing Selangor Dulu memberi penekanan kepada inisiatif promosi pelancongan domestik dengan melibatkan usahasama dengan penggiat industri pelancongan seperti pihak hotel, agensi pelancongan, media dan syarikat penerbangan. Tarikan pelancongan negeri Selangor dapat dipromosikan secara lebih meluas menerusi kempen ini yang giat dijalankan di laman digital dan media sosial rasmi Tourism Selangor di laman Facebook, Instagram, Twitter, aplikasi TikTok, dan saluran YouTube, dengan tanda pagar #PusingSelangorDulu." "Festival Kota Selatan 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam usaha untuk terus mendekatkan seni budaya warisan bangsa kepada masyarakat Malaysia khususnya gnerasi muda, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) tetap meneruskan pelbagai program walaupun negara masih lagi dibelenggu dengan pandemik Covid-19. Buktinya, pada hujung minggu ini iaitu pada 8 dan 9 Oktober 2021, JKKN menganjurkan Festival Kota Selatan 2021 @Online secara dalam talian melalui Facebook JKKN TV. Festival itu menggabungkan keunikan seni budaya dari tiga buah negeri selatan Malaysia iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.\nMajlis pelancaran festival yang berlangsung selama dua hari ini disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri. Pada hari pertama, sesi Citra Malaysia \u201cSenam Pagi Dalam Talian\u201d bersama artis tari kumpulan kesenian JKKN Negeri Sembilan mengambil tempat. Selepas itu, festival diteruskan dengan persembahan pelbagai jenis tarian seperti Tarian Selamat Datang, Tarian Puteri Ledang, Tarian Zapin Tenglu (Pak Akob) dan Tari Ghazal (Empat Dara). Siri webinar bertajuk Datuk Laksamana Hang Tuah dan Empayar Kesultanan Melayu Melaka kemudiannya mengambil tempat dengan dua ahli panel iaitu Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka, DRS. Mohd. Nasruddin Rahman dan Mantan Sarjana Tamu, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Alias bertindak sebagai moderator. Hari pertama diteruskan dengan pelbagai program seperti Pertandingan Lagu Loghat Negeri Sembilan, demonstrasi makanan seperti Masak Lada Ikan Pari dan Laksa Johor, jualan produk, persembahan artis, ceramah agama, tazkirah rohani dan banyak lagi.\nFestival Kota Selatan [email\u00a0protected] bersambung pada hari kedua bermula dengan sesi senam pagi. Sesi diteruskan dengan Jom Bepantun oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato\u2019 Wira Dr. Noor Zari Hamat. Kemudiannya, festival diteruskan dengan demonstrasi masakan seperti Lauk Haram Jadah, sesi jualan produk seperti batik Melaka, pertandingan tarian zapin Johor, Pertandingan Bintang Asli, konsert anak negeri, ceramah agama, tazkirah rohani dan banyak lagi. Festival ini diharapkan dapat memperkenalkan kepelbagaian seni warisan budaya ketiga-tiga negeri selatan di Semenanjung Malaysia iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan melalui persembahan kebudayaan, demonstrasi masakan dan perkongsian ilmu melalui sesi webinar kepada masyarakat Malaysia. Syabas diucapkan kepada JKKN atas penganjuran Festival Kota Selatan [email\u00a0protected] yang meriah walaupun hanya secara dalam talian!" "Tak Kan Melayu Hilang di Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Fakultas Hukum Universitas Riau telah menganjurkan webinar yang diadakan pada 12 Oktober 2021. Tajuk program ini ialah \u201cTak Kan Melayu Hilang di Bumi di Tengah Pandemik COVID-19\u201d. Program tersebut diadakan secara atas talian zoom meeting dan Youtube. Dr. Hengki Firmanda bertindak selaku moderator dalam program tersebut.\nTujuan program tersebut diadakan adalah untuk memberikan pengetahuan kepada masyarakat tentang keunikan kebudayaan dan kesenian masyarakat Melayu di Kepulauan Nusantara. Program tersebut menampilkan\u00a0 tiga orang ahli panel iaitu Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, Prof. H. Suwardi M. Samin dan Datuk Seri Al Azhar. Program itu disertai oleh ahli akademik dari dalam dan luar negara.\nPerbincangan itu membincangkan tentang sejarah kebudayaan dan kesenian masyarakat Melayu di Kepulauan Nusantara. Masyarakat Melayu terkenal dengan adat dan kesopanan yang tinggi sehingga mendapat pengiktirafan daripada peringkat antarabangsa. Antara kebudayaan masyarakat Melayu yang unik ialah pantun, nazam, tarian dondang sayang, kuda kepang dan lain-lain lagi.\nSelain itu, kepelbagaian kebudayaan dan kesenian masyarakat Melayu telah menjadi faktor tarikan utama untuk menarik kedatangan pelancong. Keadaan ini boleh menjana ekonomi dan meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. Namun begitu, pandemik COVID-19 telah memberikan kesan pada skala global. Walaupun pandemik melanda dunia, kebudayaan dan kesenian masyarakat Melayu terus utuh diamalkan dan bertahan dalam arus perdana.\nProgram tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat. Semoga program seperti ini dapat diteruskan untuk memberikan pendedahan dan ilmu kepada masyarakat." "Artifak Budaya Mendukung Kelestarian \u201cKeluarga Malaysia\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKonsep \u201cKeluarga Malaysia\u201d yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, melangkaui fahaman kepentingan individu dan etnik, malah mendakap erti prinsip hidup bersama demi membina semula Malaysia. Apatah lagi dalam era negara menghadapi krisis politik dan tamparan pandemik COVID-19. \u201cKeluarga Malaysia\u201d memberi ruang dan peluang untuk mencungkil serta menghargai persamaan dengan menerima perbezaan merentasi sempadan agama, budaya dan kaum di Malaysia.\nDunia kini ghairah dengan era digital. \u00a0Lantaran itu, sesetengah pihak menganggap ajaran dan budaya nenek moyang telah lapuk dan ketinggalan zaman. Konsep \u201cKeluarga Malaysia\u201d memberi nafas baharu kepada nilai-nilai moral dan cara hidup masyarakat dahulu yang sentiasa memupuk perpaduan dan kesejahteraan rakyat serta keutuhan negara.\nKemakmuran sesebuah negara terikat dengan nilai didikan yang sempurna dalam sesebuah keluarga. Ikatan kekeluargaan pula banyak dipengaruhi oleh budaya dan cara hidup ahli keluarga serta masyarakat. Sementara itu, budaya pula sesuatu yang dinamik sifatnya dan cair; bermaksud budaya berubah sepanjang masa dengan cara yang halus, tenang, nyata dan ketara. Dalam landskap Malaysia budaya orang Melayu, Cina, India, dan masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak, telah lama mencanai dan membentuk budaya \u201cKeluarga Malaysia\u201d yang dinamik.\nSementara itu, artifak budaya merupakan elemen penting bagi sesebuah budaya kerana artifak budaya mempengaruhi cara hidup harian. Sebagai contohnya, suatu ketika dahulu, batu lesung banyak digunakan oleh keluarga Melayu dan batu giling pula digunakan oleh keluarga keturunan India. Pembangunan teknologi memberi laluan kepada mesin pengisar elektronik dan akhirnya menggantikan batu giling, Kini hampir semua keluarga menggunakan batu lesung di samping mesin pengisar elektronik. Hal ini secara tidak langsung mewujudkan persamaan dalam proses masakan harian mereka. Perkara ini menunjukkan bahawa budaya yang diwarnai dengan artifak budaya membantu kelahiran dan kelestarian konsep \u201cKeluarga Malaysia\u201d.\nSejak penubuhan Muzium Perak pada tahun 1883, banyak artifak budaya telah dikenal pasti, dikumpul dan dikategorikan dalam kumpulan artifak mengikut fungsinya, seperti artifak persenjataan, tarian, artifak tradisi teater, artifak muzik, pakaian dan perhiasan diri, kraf tangan, artifak permainan, artifak berkaitan perkapalan dan lain-lain lagi. Artifak ini bukan sahaja menyerlahkan kemantapan pemikiran kreatif seniman atau pengukir kita, malah mendukung maksud tersurat dan tersirat yang mendalam.\nSebagai misalnya, artifak budaya yang berkaitan dengan pakaian dan perhiasan diri melambangkan nilai moral dan kesopanan masyarakat Malaysia yang terangkum dalam \u201cKeluarga Malaysia\u201d. Pakaian traditional seperti baju kurung, \u2018baju kurung teluk belanga, baju kebaya panjang dan sebagainya masih dalam penggunaan merentasi cabaran arus kemodenan. Keunikan pakaian tradisi ini menjadi lebih mantap dengan kelengkapan perhiasan diri seperti loket, dokoh, subang kerabu, anting-anting, cincin, gelang tangan, gelang kaki, pending, kerongsong, dan sebagainya\nHiasan pertukangan seni tekstil tradisi dan kelengkapan perhiasan diri budaya Malaysia kaya dengan motif geometrik dan organik. Alam semula jadi sentiasa menjadi rujukan dan inspirasi pengukir atau pengkarya sejak dahulu. Sebagai buktinya dapatlah kita melihat dekorasi pakaian atau kelengkapan perhiasan diri yang dihiasi dengan bunga-bungaan, salur, biji-bijian, pucuk rebung, buah cengkih dan sebagainya. Hasil kreativiti pembuatan tekstil dan corak membantu penghasilan busana tradisional sejak zaman-berzaman hingga menjadi warisan bangsa dan budaya \u201cKeluarga Malaysia\u201d.\nWalau bagaimanapun, tidaklah hairan bahawa banyak artifak budaya, terutama kelengkapan perhiasan diri khazanah nenek moyang, telah ditelan zaman atas alasan tidak menepati kesesuaian zaman, kepercayaan agama, kekangan sumber bahan pembuatan, kekurangan kemahiran pertukangan dan kecetekan pengetahuan. Sebagai misalnya, caping yang suatu ketika dahulu menjadi pengganti pakaian kanak-kanak, kini tidak lagi digunakan.\nCaping dipercayai berasal dari Selatan India dan diperkenalkan di Tanah Melayu sejak zaman Srivijaya, iaitu sekitar abad ke-7 hingga 12 Masihi. Caping merupakan penganti pakaian kanak-kanak lelaki dan perempuan bertujuan menutup kemaluan mereka. Caping juga digunakan untuk melindungi kanak-kanak daripada gangguan seks dan makhluk halus. Walaupun caping digunakan di seluruh Malaysia, tetapi kajian literasi menunjukkan bahawa budaya penggunaan caping amat ketara di bahagian utara, selatan dan kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Walau bagaimanapun, budaya pemakaian caping ini telah berakhir pada era Sultan Muhammad IV (tahun 1899-1920).\nBahan pembuatan caping dan upacara majlis pemakaian caping lazimnya melambangkan status sosioekonomi sesebuah keluarga. Kanak-kanak daripada keluarga yang kurang berkemampuan memakai caping yang diperbuat daripada bahan seperti kayu, buah kelapa, kulit kerang atau kulit penyu. Manakala caping kanak-kanak golongan berada diperbuat daripada emas, perak atau tembaga. Dari segi dekorasi pula, caping kanak-kanak perempuan lebih simbolik, dihiasi dengan pelbagai motif daripada alam semula jadi berbanding caping kanak-kanak lelaki.\nMotif dekorasi caping di atas memaparkan imej tumbuh-tumbuhan tempatan seperti sirih, paku pakis, bunga melur, pucuk rebung, bunga cengkih, bunga rumput sambau dan bunga orkid yang mempunyai banyak khasiat perubatan. Sebagai contoh, demam panas, cirit-birit, selesema dan sakit kepala dapat diredai dengan menggunakan air daun Melur. Akar pokok bunga melur digunakan untuk mengubati penyakit kelamin. Bunga melur pula digunakan untuk merawat penyakit kulit manakala minyak pati bunga melur digunakan bagi tujuan aromaterapi. Hal ini juga menunjukkan persamaan dalam amalan perubatan budaya tradisi \u201cKeluarga Malaysia\u201c.\nArtifak budaya nenek moyang dan motif dekorasinya mempunyai maksud tersurat dan tersirat yang perlu dikaji demi kesejahteraan dan keakraban rakyat Malaysia, terutama dalam memerangi kesempitan dan ancaman seperti virus COVID -19. Malah generasi muda tidak wajar menganggap remeh hasil ciptaan yang diwarisi sejak turun temurun malah perlu dihayati sepanjang zaman. Para pereka tempatan pula perlulah lebih teliti dan mendukung mandat dalam penghasilan rekabentuk masa hadapan. Setiap hasil rekaan mereka perlulah menjadi lambang identiti budaya dan mengaribkan masyarakat dengan konsep \u201cKeluarga Malaysia\u201c, di samping memenuhi kehendak dan cita rasa pengguna." "Penemuan Baharu \u201cKeistimewaan\u201c Labu Sayong\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKeistimewaan labu sayong yang sentiasa mengekalkan kesejukan air di dalamnya telah lama diketahui umum. Namun begitu, sedarkah kita ada satu lagi rahsia besar keunikan labu sayong yang telah berjaya ditemui?\nLabu sayong yang diperbuat daripada tanah liat mempunyai satu keistimewaan berupaya menyerap kelembapan dengan tindakan kapilari. Walau bagaimanapun, titisan air kecil di permukaan labu sayong yang disebabkan oleh tindakan kapilari tidak dapat diperhatikan. Tindakan kapilari berlaku apabila air dituangkan ke dalam labu sayong. Apabila air penuh, penyejatan pun berlaku. Secara teorinya, dapat disimpulkann bahawa penyejukan air di dalam labu sayong berlaku disebabkan oleh dua proses, iaitu yang pertama, peningkatan air di permukaan labu sayong, dan yang kedua ialah penyejatan.\nDalam hal ini, sekiranya berlaku penyejatan air, suhu air akan lebih rendah daripada suhu udara. Hasil kajian menunjukkan bahawa air di dalam labu sayong lebih sejuk daripada suhu bilik. Perbezaan suhu antara air dan udara hanya bergantung pada jenis tanah liat, suhu udara, kelembapan, dan ketebalan dinding labu sayong. Perbezaan suhu tidak bergantung pada ukuran, bentuk, dan kuantiti air di dalam labu sayong. Berdasarkan teori ini, dapat disimpulkan bahawa labu sayong dapat menjadikan air di dalamnya sentiasa sejuk. Yang menariknya, labu sayong bukan sekadar dapat menyejukkan air, tetapi sebenarnya mampu menurunkan suhu bilik supaya lebih nyaman. Hal ini terbukti melalui kajian yang telah dijalankan di Universiti Sains Malaysia. Sistem tetingkap penyejatan penyejukan, ataupun dikenali sebagai Evaporative Cooling Window System (ECWS), menggunakan labu sayong yang disatukan dengan pengudaraan mekanikal dan tenaga dengan menggunakan elektrik suria telah dicipta. Kajian rintis telah dilakukan di bangunan sebenar di bawah iklim tropika yang panas dan lembap. Meskipun memiliki jangka waktu yang terbatas, hasilnya tetap menunjukkan bahawa ada penurunan suhu.\nSebagai kesinambungan daripada kajian rintis, satu siri eksperimen dilakukan dengan menggunakan ECWS bersama-sama labu sayong yang diaktifkan menggunakan kipas pengekstrak tenaga suria yang diciptakan menggunakan bahagian yang berlainan. Kajian ini mengenal pasti keberkesanan ECWS dengan labu sayong dalam mengurangkan suhu dalaman. Sebagai hasilnya, ECWS bersama-sama lima unit labu sayong telah berjaya menurunkan suhu sebanyak -3.70\u00baC, hingga mencapai keberkesanan 53.7% ECWS. Sistem ini terbukti berkesan kerana keputusan yang diperoleh menunjukkan keberkesanan berada dalam julat yang dapat diterima, iaitu antara 50% dengan 75%.\nPenemuan ini sememangnya memberi makna kepada penulis sebagai penyelidik. Diharapkan penemuan terbaharu keistimewaan labu sayong ini mampu membuka mata pelbagai pihak untuk lebih menitikberatkan elemen warisan Melayu dalam kehidupan harian. Sesungguhnya banyak lagi rahsia warisan Melayu yang perlu dicungkil dan diinovasikan. Semoga dengan perkongsian ini dapat menyuntik rasa cintakan khazanah warisan Melayu agar terus kekal sepanjang zaman.\n***\nPenulis merupakan pensyarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti yang kini sedang melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah dalam Pengurusan Projek di Universiti Sains Malaysia." "Penganjuran Hari Kraf Kebangsaan 2021 Dianjurkan Secara Maya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Setelah 18 tahun pengajuran Hari Kraf Kebangsaan, buat pertama kalinya pada tahun ini sambutannya dianjurkan secara maya. Virtual Hari Kraf Kebangsaan 2021 (VHKK 2021) yang berlangsung dari 15 Oktober 2021 sehingga 15 Disember 2021 merupakan virtual kraf yang pertama seumpamanya pernah diadakan di Malaysia. Penganjuran VHKK 2021 diadakan untuk memberikan pengiktirafan atas penglibatan dan segala sumbangan usahawan kraf tempatan dan para artisan kraf dalam membangunkan industri kraftangan di negara kita. VHK 2021 juga merupakan inisiatif Kraftangan Malaysia dalam membantu dan menyokong usahawan kraf tempatan.\nVHKK 2021 bertemakan \u201cKraf Menceriakan Kehidupan\u201d menghimpunkan seramai 500 usahawan kraf seluruh negara dengan menggabungkan pelbagai informasi industri kraf yang akan disampaikan secara informatif, inklusif dan interaktif. VHK 2021 menggangarkan sebanyak lebih 25,000 produk kraf yang boleh didapati oleh orang ramai. Melalui pameran virtual ini, para pengunjung boleh menerokai dan mengakses sendiri pengalaman baharu setiap pameran dan jualan kraf secara digital melalui pendekatan exciting, memorable dan experience. Para pengunjung boleh mengujungi VHKK 2021 dengan hanya melayari www.mycraftevent.com.\nPara pengunjung boleh mengakses ke lima bahagian utama jika mengunjungi VHKK 2021 iaitu ruang pameran (exhibitor hall), ruang pertunjukan (showcase hall), auditorium, pusat perniagaan kraf atau craft business centre (CBC) dan muzium digital kraf. Setiap ruang menyediakan pelbagai informasi dan pengalaman yang menarik buat para pengunjung maya. Sebagai contohnya, pengunjung boleh melihat demonstrasi kraf di ruang pertunjukan, menonton peragaan fesyen secara maya di auditorium dan menerokai Kompleks Kraf Kuala Lumpur dan Kompleks Kraf Langkawi secara maya melalui di muzium digital kraf.\nMarilah semua rakyat\u00a0 Malaysia kita menyokong industri kraftangan tempatan dengan memeriahkan VHKK 2021 yang berlangsung secara maya selama dua bulan bermula dari 15 Oktober 2021 sehingga 15 Disember 2021." "Ayuh Tebus Baucar Pelancongan Selangor\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Kerajaan Selangor meneruskan pemberian subsidi Baucar Pelancongan Negeri Selangor dengan edisi kedua tahun ini setelah edisi pertama yang diedarkan pada umum pada Januari lalu menerima sambutan yang hangat daripada orang ramai. Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 merupakan salah satu insentif yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 yang telah diumumkan oleh Dato\u2019 Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor pada 9 Jun 2021 yang memperuntukkan sebanyak RM 2.55 juta kepada industri pelancongan Selangor.\nSebanyak RM 1 juta diperuntukkan untuk Subsidi Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0\u00a0 merangkumi 10,000 unit baucar bernilai RM 100 setiap satu yang akan ditawarkan kepada umum di aplikasi e-dagang terkemuka; Shopee bermula 22 Oktober 2021 sehingga 31 Disember 2021, atau sehingga baucar pembelian habis ditebus. Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 ini boleh digunakan untuk membeli lebih dari 170 pakej pelancongan menarik yang ditawarkan secara khusus oleh 35 agensi pelancongan negeri Selangor yang mengambil bahagian dalam edisi kali ini. Tempoh perjalanan atau penggunaan baucar pula bermula dari 22 Oktober 2021 sehingga 30 Jun 2022.\nTerma dan syarat penebusan Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 di aplikasi Shopee adalah seperti berikut:\n1) Tempoh Kempen / Tempahan: 22 Oktober 2021 hingga 31 Disember 2021.\n2) Tempoh Perjalanan: 22 Oktober 2021 hingga 30 Jun 2022.\n3) Promosi: Dapatkan SATU (1) baucar bernilai RM100 dengan syarat Warganegara Malaysia dan memiliki Kad Pengenalan yang sah (MyKad), dan berumur 18 tahun ke atas pada tahun 2021.\n4) Setiap pengguna Shopee terhad kepada SATU (1) transaksi setiap baucar sepanjang tempoh kempen.\n5) Terhad kepada sejumlah 10,000 penebusan baucar sepanjang tempoh kempen.\n6) Semua pembayaran harus dilakukan dengan fungsi \u2018ShopeePay\u2019 SAHAJA.\n7) Tiada baucar tunai atau kombinasi baucar penerimaan dari medium lain yang dibenarkan untuk setiap transaksi.\n8) Promosi akan dihentikan setelah jumlah baucar habis, atau pada masa tempoh kempen berakhir, mana yang lebih awal.\n9) Promosi ini tidak sah dengan baucar, diskaun potongan atau promosi lain.\n10) Promosi tidak boleh ditukar atau diganti dengan produk lain atau wang tunai.\nInilah masanya untuk anda \u201cPusing Selangor Dulu!\u201d susulan pengumuman pembukaan semula sektor pelancongan domestik Negara. Rebut peluang untuk tebus Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 dan terokai pelbagai tarikan pelancongan Negeri Selangor menerusi pembelian pakej pelancongan Negeri ini. Gunakan untuk percutian akhir tahun anda atau simpan dan guna pada tahun hadapan sehingga akhir Jun 2022!\nKempen Pusing Selangor Dulu memberikan penekanan kepada inisiatif promosi pelancongan domestik dengan melibatkan usahasama dengan penggiat industri pelancongan seperti pihak hotel, agensi pelancongan, media dan syarikat penerbangan. Tarikan pelancongan negeri Selangor dapat dipromosikan secara lebih meluas menerusi kempen ini yang giat dijalankan di laman digital dan media sosial rasmi Tourism Selangor di laman Facebook, Instagram, Twitter, aplikasi TikTok, dan saluran YouTube, dengan tanda pagar #PusingSelangorDulu." "Taman Tema Air Selangor Kembali Dibuka\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Taman tema air di negeri Selangor telah mula beroperasi semula selaras kelonggaran dalam Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Tentunya, taman tema air merupakan tarikan pelancongan yang digemari semua lapisan masyarakat\u00a0 tanpa mengira usia. Permainan gelongsor dan ombak buatan sememangnya tarikan yang sinonim dengan taman tema air. Akan tetapi, setiap taman tema air mempunyai keunikan yang tersendiri. Hanya individu yang lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19 dibenarkan mengunjungi taman tema air di negeri Selangor. Jom isi masa terluang anda bersama ahli keluarga dan rakan-rakan pada hujung minggu ini dengan mengunjungi taman tema air yang disenaraikan di bawah!\n1) Sunway Lagoon\nSiapa yang tidak tahu tentang Sunway Lagoon, teman tema air yang terletak di Bandar Sunway, Subang Jaya? Sama seperti taman tema air yang lain, Sunway Lagoon juga dilengkapi dengan tarikan gelongsor pelbagai jenis yang sangat mengujakan. Antara tarikan popular di Sunway Lagoon yang sangat digemari para pengujung ialah Vuvuzela, Little Zimbabwe, Waterplexx 5D, Surf Beach dan banyak lagi! Sempena pembukaan semula pada 7 Oktober 2021, Sunway Lagoon telah memperkenalkan aktiviti berkelah yang dinamakan \u201cCamp Out! at Sunway Lagoon\u201d. Jadi, rasai sendiri pengalaman bermalam di Sunway Lagoon yang pertama kali diperkenalkan ini!\n2) Bangi Wonderland Theme Park & Resort\nBangi Wonderland merupakan taman tema air yang dikelilingi oleh hutan rekreasi dengan keluasan 12 ekar. Lokasinya yang terletak di tengah antara Bandar Semenyih dan Bangi sememangnya sesuai bagi anda yang ingin melarikan diri dari kesibukan kota. Bangi Wonderland menawarkan 14 permainan yang menyeronokkan, antaranya Anaconda Trail, Body Slide, Green Pearl dan banyak lagi!\n3) Waterworld @ I-City\nSelain daripada cahaya lampu LED dan taman tema salji yang menjadi tarikan popular para pengunjung di i-City, Shah Alam, taman tema air di sini harus juga diberi perhatian kerana Waterworld i-City ini menawarkan aktiviti yang amat menarik dan memberikan pengalaman yang luar biasa kepada para pengunjung! Jom mencuba satu-satunya Tornado Ride yang terdapat di Asia Tenggara, yang mencabar keberanian anda dan tentunya menyeronokkan!\n4) Wet World Water Parks Shah Alam\nWet World Water Parks Shah Alam ini sudah beroperasi sejak 1996 lagi! Ianya menjanjikan keseronokan kepada para pengunjung, lebih-lebih lagi pada si kecil. Antara tarikan popular yang anda boleh cuba di sini ialah Super Hurricane, Monsoon Buster, Thunder River dan Kiddy Typoon Lagoon. Pilihan aktiviti yang ditawarkan di sini sesuai untuk kanak-kanak, dan kebanyakan kolam di sini berparas cetek. Jadi, anda boleh membawa anak anda ke Wet World Water Parks Shah Alam pada masa cuti nanti!\nTaman tema air kerap kali dikunjungi secara berkumpulan atau beramai-ramai kerana kita tahu, \u201clebih ramai lebih meriah\u201d. Tambahan pula, taman tema air merupakan hiburan yang dapat dinikmati tanpa mengira usia. Menariknya lagi, sesetengah taman tema air turut menyediakan tempat penginapan sekiranya sehari tidak cukup untuk anda menikmati semua aktiviti yang ditawarkan. Debaran permainan gelongsor yang curam dan ketenangan kolam renang memberi penangan yang hebat kepada para pengunjung. Jangan ketinggalan untuk menikmati pengalaman taman tema air yang menakjubkan di negeri Selangor ini!\nWalau bagaimanapun, adalah diingatkan kepada kita semua untuk berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dalam memastikan penjarakan sosial, memakai pelitup muka setiap masa, menggunakan cecair pembasmi kuman secara kerap, terutamanya ketika memasuki premis di negeri Selangor.\nAnda juga boleh layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Negeri Selangor, atau terus ikuti laman media sosial rasmi Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan saluran YouTube Tourism Selangor untuk mengikuti sebarang kemas kini. #PusingSelangorDulu." "Kebudayaan dan Bahasa Etnik Sabah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Kinabalu \u2013 Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah telah bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah menganjurkan program Webinar Bahasa Etnik Sabah bersempena dengan Hari Etnik Sabah sempena Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama Yang Di-pertua Negeri Sabah ke-68. Program itu diadakan pada 22 Oktober 2021. Program tersebut diadakan secara atas talian di Facebook Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan saluran YouTube.\nTujuan program tersebut diadakan adalah untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan tentang keunikan kepelbagaian budaya Sabah kepada orang awam. Program tersebut menampilkan tiga orang ahli panel iaitu Dr. Jeannet Stephen, Ketua Kluster, BorIIS Universiti Malaysia Sabah; Rita Lasimbang, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bahasa Kadazan Dusun; Aminah Awang Basar; Pengarah DBP Cawangan Sabah dan Datuk Seri Mohd Yusrie Abdullah yang merupakan Setiausaha Tetap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah. Dinoza Mahruf bertindak sebagai moderator dalam program itu. \u00a0Program itu disertai oleh ahli akademik dari dalam dan luar negara.\nPada peringkat pertama perbincangan, ahli panel menerangkan tentang keunikan Sabah yang terkenal dengan kepelbagaian kebudayaan di Sabah. Mereka menjelaskan bahawa masyarakat berbilang etnik di Sabah hidup dengan harmoni dan mempunyai tali perpaduan yang erat. Selain itu, Mereka menekankan tentang kepentingan elemen pendidikan yang memberikan pendedahan dan pengetahuan tentang kebudayaan kepada generasi muda. Mereka menambah bahasa merupakan elemen yang penting dalam suatu kebudayaan. Bahasa memainkan peranan penting untuk memelihara kebudayaan kerana bahasa merupakan alat komunikasi yang penting dan digunakan untuk menjelaskan kebudayaan sesuatu etnik.\nMereka memberikan contoh bahawa bahasa Kadazan Dusun akan pupus dalam jangka masa 30-50 tahun akan datang sekiranya bahasa itu tidak dipraktikkan dalam masyarakat. Antara faktor yang menyebabkan bahasa etnik hilang dalam masyarakat ialah mereka mahu bertutur dalam bahasa arus perdana seperti bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.\u00a0 Selain itu, mereka mahu masyarakat mewujudkan kebudayaan Malaysia agar semua lapisan masyarakat di negara ini mengetahui dan menghormati kebudayaan masing-masing. Mereka berharap agar masyarakat di Malaysia dapat mengekalkan dan memelihara kebudayaan masing-masing agar generasi akan datang dapat mewarisinya.\nProgram tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat. Semoga program seperti ini dapat diteruskan untuk memberikan pendedahan dan ilmu kepada masyarakat." "Bahasa Jiwa Bangsa Asas Pengilmuan Manusia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKUALA LUMPUR \u2013 Bahasa Melayu merupakan akar umbi bangsa yang menciptakan kesatuan dan kebersamaan masyarakat Malaysia. Dengan menelusuri perkembangan bahasa Melayu di Malaysia, pelbagai karenah dan isu muncul sebelum merdeka, menjelang kemerdekaan, pascamerdeka dan hingga kini yang sentiasa mencabar kedaulatan bahasa Melayu.\nJika diimbas kembali, pada awal abad ke-15, bahasa Melayu sudah digunakan sebagai wahana kebangsaan ilmu dan kemahiran serta keperluan dalam kehidupan. Satu hal yang menarik kerana bahasa Melayu sudah diajarkan di luar Alam Melayu walaupun Munsyi Abdullah dalam Sejarah Melayu mengatakan bahawa tradisi orang Melayu tidak menggunakan bahasa Melayu formal. Mereka menggunakan bahasa al-Quran tetapi boleh berbahasa Melayu.\nSeterusnya, bahasa Melayu diajarkan sebagai bahasa formal pada awal abad ke 15. Satu hal yang menarik kerana bahasa Melayu sudah diajarkan di luar Alam Melayu walaupun Munsyi Abdullah dalam Sejarah Melayu mengatakan bahawa tradisi orang Melayu tidak menggunakan bahasa Melayu formal, mereka menggunakan bahasa al-Quran namun mereka boleh berbahasa Melayu.\nPada waktu itu juga, bahasa Melayu telah digunakan dalam bidang ekonomi, siasah dan politik, bahkan dalam urusan diplomasi seperti dalam surat atau perjanjian. Sehubungan dengan itu, bahasa Melayu digunakan sebagai wahana kebangsaan ilmu dan kemahiran serta keperluan dalam kehidupan. Secara formalnya pula, bahasa Melayu mula diajarkan sebagai satu mata pelajaran sebagai wahana ilmu.\n\u201cFungsi bahasa Melayu sebagai bahasa jiwa bangsa termasuklah sebagai asas pembentukan konsep diri manusia, asas pengilmuan manusia, perantaraan perhubungan sosial dan perantaraan pewarisan tamadun.\u201d\nDemikianlah antara penerangan oleh YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, dalam ucap utamanya yang berjudul \u201cIsu, Cabaran dan Hala Tuju Pemartabatan Bahasa Melayu\u201d. Program ini bersiaran langsung secara dalam talian menerusi saluran Youtube IPG Kampus Bahasa Melayu melalui Konvensyen Bahasa Melayu (KONBAYU 2021) Peringkat Kebangsaan anjuran IPG Kampus Bahasa Melayu. Konvensyen ini dirasmikan oleh YBhg. Dr. Rusmini Ku Ahmad, Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia. Program ini berlangsung selama tiga hari bermula pada 27 Julai 2021 hingga 29 Julai 2021." "Pantai Menarik untuk Dikunjungi Pelancong di Selangor\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Negeri Selangor kini telah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara. Sudah pasti ramai dalam kalangan kita yang sedang mencari destinasi percutian untuk dikunjungi bersama rakan-rakan atau ahli keluarga, khususnya bagi melepaskan rindu terhadap keindahan pemandangan matahari terbenam. Individu yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 dibenarkan menjalankan aktiviti pelancongan di negeri Selangor dalam Fasa ini. Kunjungi pantai yang tersenarai di bawah untuk anda merancang percutian hujung minggu nanti!\n1) Pantai Remis, Kuala Selangor\nPantai Remis terletak 20km di bahagian selatan Daerah Kuala Selangor iaitu di mukim Jeram. Baru-baru ini, pantai itu dikatakan \u201ckembali bernyawa\u201d ekoran pengumuman kemasukan negeri Selangor dalam Fasa 3. Pantai Remis merupakan salah satu lokasi eko-pelancongan yang semakin digemari oleh orang ramai. Pantai Remis sentiasa dibanjiri dengan pengunjung yang ingin menjamu keenakan makanan laut segar seperti ikan bakar, kerang rebus dan kerang bakar sambil bersantai bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.\n2) Pantai Kelanang, Banting\nJom terokai apa yang istimewa di Pantai Kelanang, terletak tidak jauh daripada Pantai Morib! Pantai Kelanang menyajikan kepada anda pemandangan indah laut Selat Melaka yang dikelilingi oleh pohon kayu bakau dan pokok ru. Pantai ini juga memberikan kepada anda pemandangan matahari terbenam yang indah diiringi deruan angin yang nyaman sesuai untuk menerbangkan layang-layang tinggi di udara. Sekiranya anda membawa anak kecil, usah risau kerana fasiliti seperti taman permainan disediakan di sini untuk keseronokan anak anda!\n3)Pantai Cunang, Kuala Langat\nMungkin tidak ramai yang menyedari kewujudan Pantai Cunang, tempat yang agak tersembunyi namun amat menakjubkan ini terletak di Tanjung Sepat. Pantai Cunang merupakan pantai dengan pasir yang memutih sepanjang kawasan hutan bakau. Pantai Cunang merupakan kawasan rehat tradisional yang diusahakan oleh masyarakat peribumi Mah Meri. Pantai Cunang kini telah berubah menjadi salah satu destinasi pelancongan negeri Selangor, dimana ianya dihiasi dengan rumah tradisional, hiasan berwarna-warni dan juga kedai kraftangan. Selain itu, anda juga boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti memancing dan berbasikal di pantai ini.\n4) Pantai Bagan Lalang, Sepang\nTerletak kira-kira satu jam perjalanan dari Kuala Lumpur, Pantai Bagan Lalang yang terletak di daerah Sepang seperti yang diketahui ramai, adalah tempat percutian pandai kegemaran seisi keluarga. Jangan lepaskan peluang untuk memanfaatkan waktu air surut pada siang hari di mana anda boleh berjalan ke tengah laut sehingga 400 meter jauhnya. Waktu ini merupakan waktu yang sesuai untuk anak kecil anda melihat anak-anak ketam berkeliaran di atas pasir. Pantai ini juga sangat popular dengan aktiviti bola tampar, bola sepak pantai dan barbeku. Ia tentunya pantai yang harus dilawati kepada yang gemar menikmati ketenangan air laut!\n5) Pantai Redang, Sekinchan\nSekiranya anda berada di daerah Sabak Bernam serta inginkan kelainan dari pemandangan sawah padi yang terkenal di sini, apa kata rasai sendiri pengalaman melihat kehidupan masyarakat nelayan di kawasan ini pula? Apa yang lebih menyeronokkan, Pantai Redang sangat dekat dengan beberapa restoran makanan laut dan anda boleh menikmati pelbagai jenis makanan laut yang pastinya segar! Kemudahan rekreasi juga tersedia kepada para pengunjung seperti bangku dan gazebo untuk anda berehat.\n6) Pantai Morib, Banting\nTahukah anda Pantai Morib memiliki garis pantai sepanjang kira-kira tiga kilometer? Pantai Morib ini terletak di daerah Kuala Langat dengan pemanduan tidak lebih daripada satu jam dari daerah Klang. Pantai ini amat popular dengan aktiviti pantai seperti bola sepak pantai, bola tampar dan layang-layang. Selain itu, anda juga boleh mengutip cengkerang atau anak ketam yang berkeliaran sementara menunggu air pantai surut. Ianya sememangnya sebuah lokasi yang amat sesuai dikunjungi bersama insan tersayang!\nSiapa kata negeri Selangor tidak mempunyai pantai yang menakjubkan? Luangkan masa hujung minggu anda dengan mengunjungi pantai yang telah disenaraikan di atas. Bukan sahaja anda boleh menikmati pemandangan laut yang luas, malah anda juga boleh menggunakan kemudahan yang tersedia di pantai tersebut. Jadi sekiranya anda tidak tahu ke mana destinasi pelancongan anda selepas ini, kunjungi pantai yang terdapat di Negeri Selangor pada cuti hujung minggu anda!\nNamun, adalah diingatkan kepada kita semua untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dalam memastikan penjarakan sosial, memakai pelitup muka setiap masa, serta menggunakan cecair pembasmi kuman secara kerap, terutamanya ketika memasuki premis di negeri Selangor.\nAnda juga boleh layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Negeri Selangor, atau terus ikuti laman media sosial rasmi Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan saluran YouTube Tourism Selangor untuk mengikuti sebarang kemas kini. #PusingSelangorDulu." "P.Ramlee: Seniman Berjiwa Rakyat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\n\u201cP.Ramlee bukanlah seniman yang terbaik tetapi beliau merupakan seniman yang terpenting dalam dunia sinema Melayu. Sumbangan beliau banyak membentuk jati diri bangsa, membentuk cara kita berfikir, bertingkah laku dalam menangani isu-isu tertentu melalui saranan yang disampaikan melalui filemnya,\u201d jelas Siti Raihani Mohd Saaid menutup bicaranya dalam program Bicara Ilmu, sebuah wadah yang menampilkan ahli akademik dan para pengkaji untuk berkongsi kajian dan dapatan mereka kepada khalayak umum.\nProgram bual bicara yang dihoskan oleh Azian Mohamed Isa dengan judul \u201cUnsur Kritikan dan Didikan dalam filem P.Ramlee\u201d disiarkan secara langsung menerusi Facebook Bicarawara, menelusuri perjalanan kesarjanaan Siti Raihani yang menjadikan P.Ramlee sebagai fokus kajian ilmiahnya. Beliau yang juga seorang calon Ijazah Falsafah Kedoktoran yang kini sedang menyiapkan disertasinya di salah sebuah IPTA turut berkongsi bagaimana boleh timbul minatnya untuk mengkaji P.Ramlee.\nKatanya, \u201cSemasa saya kecil, ayah saya gemar merakam video dan pada ketika itu pita rakaman adalah dalam bentuk VHS. Saya menonton banyak filem P.Ramlee dan saya boleh terima ceritanya. Sehinggalah saya melanjutkan pengajian di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) kini ASWARA (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan), saya mengambil jurusan pengajian filem dengan pengkhususan penulisan lakon layar dan kritikan filem. Ketika itu minat saya menjadi lebih mendalam, mahu mendalami filem P.Ramlee dari aspek sastera dan masyarakat.\u201d\nP.Ramlee bijak mengarifi kehendak masyarakat pada zamannya. Beliau sangat sensitif dengan pembangunan dan pembaharuan yang berlaku di sekelilingnya. Unsur kritikan dan didikan terhadap satu-satu isu dimasukkan dengan bersahaja menggunakan elemen komedi. Oleh hal yang demikian, penonton bukan saja akan terhibur malah lebih mengingati saranan dan mesej yang ingin disampaikan. Filem Masam Masam Manis misalnya memaparkan papan tanda yang tertulis \u201cJayakan Bahasa\u201d dalam bingkai pertamanya. Menurut Siti Raihani, ini memberikan gambaran tentang perjuangan P.Ramlee dalam mengangkat bahasa.\nDalam filem Ali Baba Bujang Lapok pula, Marjina, watak seorang hamba perempuan yang dilakonkankan oleh seniwati Sarimah, dibebaskan oleh Ali Baba disebabkan usahanya menyelamatkan majikannya. Ini menunjukkan terdapat unsur mobility social, di mana golongan bawahan mampu bergerak dan keluar daripada kepompong kehambaan atau kemelaratan hidup dengan ikhtiar, iltizam dan daya usaha yang kuat. Dalam masa yang sama filem ini juga memberi saranan kepada majikan supaya berhati mulia dan bertimbang rasa.\nDalam disertasi ijazah sarjananya, Siti Raihani berjaya membuktikan P.Ramlee adalah seorang karyawan lelaki yang \u00a0feminis, menampilkan watak wanita yang tinggi daya tahan dan punyai pegangan yang kuat mendepani stigma sosial dan diskriminasi patriarki. Dalam filem Keluarga 69 misalnya, dialog Siti yang berbunyi \u201cBuat apa berlaki kalau hidup susah\u201d mendorong Siti untuk meninggalkan suaminya. Ternyata keputusan ini memberikan kehidupan yang lebih baik kepada dirinya seperti digambarkan dalam filem tersebut. Hal ini turut disokong oleh Hidir Ali Razali, salah seorang penonton yang meninggalkan komentar dalam siaran langsung ini, \u201cP.Ramlee adalah seorang reformis yang berusaha untuk berjuang membetulkan masyarakat dan bangsanya.\u201d\nTernyata legasi yang ditinggalkan oleh P.Ramlee lewat karyanya memberikan impak yang besar kepada masyarakat, dahulu, kini dan akan datang. Karya beliau menyatukan seluruh alam Melayu dan seluruh dunia. Bukan tidak ada pengarah filem atau karyawan yang hebat pada zaman itu, akan tetapi, nama P.Ramlee itu lebih melekat dan terpahat dalam ingatan masyarakat oleh kerana popularitinya. \u201cP.Ramlee adalah memori kolektif pelusuk nusantara dipunyai oleh Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand,\u201d ujar Siti Raihani." "Minggu Budaya Malaysia 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dalam usaha untuk terus mengarkibkan seni, budaya dan warisan negara selari dengan usaha pelestariannya, Kementerian, Seni dan Budaya (MOTAC) menganjurkan secara maya program Minggu Budaya Malaysia (MBM) 2021 bermula dari 25 Oktober 2021 sehingga 30 Oktober 2021. Program ini merupakan cetusan idea Ketua Setiausaha MOTAC, Dato\u2019 Dr. Noor Zari bin Hamat yang bertemakan \u2018Bangkit Asal\u2019 iaitu membawa maksud mengangkat atau menghidupkan kembali seni budaya dan warisan negara.\nMBM 2021 merupakan salah satu usaha awal MOTAC bagi menterjemahkan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 yang dilancarkan pada 26 Oktober 2021. Program itu juga merupakan program eksklusif MOTAC sebagai wadah manifestasi kepelbagaian seni, budaya dan warisan di Malaysia dengan cara menyediakan ruang bagi mengekspresi keragaman budaya selain mendorong interaksi budaya dalam usaha memperkukuhkan kebudayaan secara inklusif.\nProgram tersebut melibatkan sepuluh jabatan dan agensi di bawah MOTAC seperti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Jabatan Warisan Negara (JWN), Jabatan Muzium Malaysia, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan lain-lain lagi. Pelbagai aktiviti menarik telah diatur kepada para pengunjung seperti pengarkiban, pendidikan seni, budaya dan warisan, seni persembahan, seni visual kandungan mansukrip terpilih dan pelbagai program lain sepanjang enam hari program ini berlangsung. Program tersebut dimulakan dengan majlis perasmian pada 25 Oktober 2021 dan telah dirasmikan oleh Menteri MOTAC, Dato\u2019 Seri Hajah Nancy\u00a0 Shukri.\nDalam ucapan perasmiannya, beliau berharap program ini dapat menyemarakkan semula industri pelancongan dan kebudayaan negara dalam norma baharu dan percaya pelaksanaan program ini juga seiring dengan perancangan strategik dalam Pelan Pemulihan Pelancongan MOTAC bagi memperluaskan aspek promosi untuk menarik minat pelancong mengunjungi Malaysia apabila pintu sempadan dibuka kelak.\nPara pengunjung boleh melayari laman sesawang www.mbm2021.com dan platform Facebook MOTAC pada 25 Oktober 2021 sehingga 30 Oktober 2021 dari jam 2.00 petang hingga 6.00 petang setiap hari bagi mengetahui segala pengisian program MBM 2021. Pada hari pertama program ini contohnya, pengujung boleh mengikuti wawancara berkaitan kraftangan Malaysia dengan tajuk seperti Kraf Memperkasa Ekonomi Rakyat dan Inisiatif Pembangunan Produk Kraf: Reka Bentuk Tradisi dan Moden Yang Seiring. Pada hari kedua, pengunjung boleh mengetahui berkaitan arkib moden dan pintar 2030 dan temu bual bersama Ketua Pengarah PNM atau pun wakilnya dan lebih banyak aktiviti menarik pada hari berikutnya sehinggalah majlis penutup program ini yang dijadualkan akan berlangsung pada 30 Oktober 2021.\nBukan itu sahaja, masyarakat Malaysia juga boleh menyertai pelbagai pertandingan anjuran MOTAC bersempena program MBM 2021 seperti Pertandingan Eja jawi oleh PNM dan Pertandingan Kuiz Warisan anjuran JWN. Marilah kita selaku keluarga Malaysia meriahkan program MBM 2021 anjuran MOTAC dengan melayari platform Facebook MOTAC mahu pun laman sesawang yang dibangunkan khusus dan menyertai pertandingan yang dianjurkan bersempena program MBM 2021." "Pesona Kraf Tangan Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia telah menganjurkan Majlis Pesona Kraf Malaysia yang diadakan pada 26 Oktober 2021. Majlis itu diadakan bersempena dengan pembukaan semula kompleks kraf Kuala Lumpur dan peruncit Karyaneka. Program tersebut diadakan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.\nTujuan majlis tersebut diadakan adalah untuk memberikan maklumat kepada masyarakat tentang pembukaan semula kompleks dan mengajak orang ramai memberikan sokongan kepada produk kraf tempatan. Program tersebut dirasmikan oleh Rubiah Awang yang merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia.\nDalam ucapan perasmiannya, beliau berharap program ini dapat merancakkan \u00a0kembali industri kraf tangan negara pasca COVID-19 dan percaya pelaksanaan program ini juga seiring dengan perancangan strategik dalam Pelan Pemulihan Pelancongan MOTAC bagi memperluas aspek promosi untuk menarik minat pelancong mengunjungi Malaysia apabila pintu sempadan dibuka kelak. Beliau menyatakan bahawa produk kraf tempatan mempunyai potensi besar dalam pasaran dalam dan luar negara kerana kraf tempatan mendapat permintaan yang memberangsangkan daripada masyarakat. Hal ini demikian kerana produk kraf tempatan mempunyai ciri-ciri keunikan dan nilai estetika yang tersendiri. Industri kraf tangan juga memberikan sumbangan yang signifikan kerana industri ini merupakan industri hiliran sektor pelancongan.\nBeliau berharap agar program ini dapat menjadi batu loncatan bagi memeriahkan semula industri kraf tempatan yang suram susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang menyebabkan jualan kraf merosot. Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia sentiasa bersedia dan berbesar hati untuk membantu pengusaha kraf tempatan bagi mempromosikan, memberikan latihan, memberikan dana bantuan dan sebagainya supaya produkt kraf tempatan dapat menembusi pasaran yang lebih luas dalam negara dan antarabangsa." "Dasar Kebudayaan Negara Pacu Industri Seni, Budaya dan Warisan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah melancarkan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 yang diadakan pada 26 Oktober 2021 bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay. Dalam ucapan pelancaran DAKEN 2021, Perdana Menteri, Dato\u2019 Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa dasar itu menjadi entiti penting dalam konsep Keluarga Malaysia yang menekankan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.\nMeskipun negara berjaya melakar kecemerlangan melalui Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang digubal pada tahun 1971, namun usianya telah melepasi separuh abad. Sehubungan dengan itu, penggubalan DAKEN 2021 tepat pada masanya untuk terus memperkasakan kebudayaan negara. Menurut beliau, DAKEN merupakan dokumen holistik yang akan dijadikan panduan dalam merencana pembangunan seni, budaya dan warisan negara. Inisiatif itu seiring menjadikan sektor tersebut sebagai pemangkin sosioekonomi Keluarga Malaysia.\nTujuh teras utama yang digariskan dalam DAKEN 2021 berkaitan dengan pelaksanaan seni, budaya dan warisan pada masa hadapan yang merangkumi; Budaya nilai tinggi, Keharmonian masyarakat, Pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya, Pembangunan dan pengembangan budaya, Pemerkasaan budaya, Penjanaan ekonomi kebudayaan dan Kecemerlangan budaya. Dasar itu akan dilengkapi dengan 39 strategi dan 95 pelan tindakan bagi tempoh pelaksanaan selama lima tahun (2021-2025). Pelaksanaan DAKEN melibatkan empat institusi penting iaitu institusi kekeluargaan, institusi pendidikan, institusi kemasyarakatan dan institusi perkhidmatan.\nSementara itu, Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri yang hadir semasa pelancaran menyatakan bahawa DAKEN akan menjadi insprirasi dan iltizam untuk MOTAC bagi memastikan kelestarian seni, budaya dan warisan agar dapat diwarisi generasi seterusnya. DAKEN berperanan untuk mencorak seni, budaya dan warisan negara agar lebih terarah dan kompetitif pada masa hadapan.\u201cDAKEN ini turut berpayungkan Rukun Negara dan Perlembagan Persekutuan. Ringkasnya, dasar ini milik kita bersama yang perlu difahami, hayati dan hargai. Dasar ini tidak akan meminggirkan mana-mana pihak selari dengan agenda pembangunan sosioekonomi negara. Keadaan ini bermakna rakyat bebas untuk sama-sama mengambil bahagian dalam usaha merealisasikan agenda DAKEN 2021\u201d, ujar Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri." "Mengunjungi \u201cTingkap\u201d dalam Filem Rock\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPemergian pengarah tersohor negara, Mohamad Mohd. Khalid atau Mamat Khalid, kembali kepada sisi Pencipta pada 24 Oktober 2021 membuatkan seluruh negara amat terasa dengan ketiadaannya. Mamat Khalid dan hasil karyanya tidak perlu diperkenalkan lagi. Semua drama dan filemnya lengkap mengandungi unsur hiburan, pendidikan dan memberitahu sesuatu (easter egg).\nPemergiannya membawa penulis untuk mengunjungi kembali filem Rock yang dihasilkan oleh Mamat pada tahun 2005 yang merupakan bahagian pertama dalam trilogi Rock. Trilogi tersebut adalah rakaman cinta dan cita-cita anak muda. Unsur semiotik, terutamanya pada bahagian tingkap, diletakkan dengan baik untuk \u201cdibaca\u201d oleh penonton.\nFilem merupakan medium yang membentuk pemikiran masyarakat, medium kritikan dan juga sebagai dokumentasi sejarah yang merakam sesuatu peristiwa atau fenomena dalam masyarakat. Menurut Hassan Muthalib, Mamat menjadi perakam sejarah hiburan tanah air dan menggunakan filem-filemnya untuk mendedahkan tragedi yang berlaku ke atas muzik rock dan pemuda-pemuda yang terlibat dengannya dalam era 1980-an dan kemudian era kejatuhan rock pada tahun 1990-an.\nPengaruh rock di Malaysia pada tahun 1980-an adalah suatu bentuk fenomena nasional kerana melibatkan pembawaan budaya luar yang sukar untuk diterima oleh masyarakat pada ketika itu. Fenomena rock dianggap sebagai sesuatu yang membawa unsur negatif. Dengan rakaman sejarah ini, Mamat Khalid mahu memperbetulkan persepsi negatif tersebut dan memperlihatkan bahawa golongan rockers ini juga mempunyai aspirasi dan wawasan seperti orang lain.\nTingkap merupakan simbol kebebasan dan di situlah cara watak utama filem\u00a0 ini, iaitu Zack, untuk melihat dunia. Menurut Luana Krause, tingkap adalah simbol keterasingan dan kesunyian. Tingkap juga menjadi penghalang yang memisahkan antara dua watak yang mempunyai motif berbeza. Imej pertama Zack dalam adegan imbas kembali ialah beliau berdiri di tingkap rumahnya bersama gitar, sehingga beliau didatangi oleh Amy Mat Piah. Ketika inilah kita diperkenalkan dengan watak utama dan objektif mereka, iaitu bertanding di Battle of The Band.\nSetelah digesa oleh ayahnya untuk menghadiri temu duga perkhidmatan awam, Zack ditunjukkan berada antara dua bidang tingkap di biliknya. \u00a0Dua tingkap ini seolah-olah menggambarkan dua dunia yang sedang \u201cdiperhatikan\u201d oleh Zack, iaitu cita-cita beliau untuk menjadi artis rock dan realiti hidup bahawa beliau perlu mencari kerja yang stabil dan sesuai dengan kelulusannya. Di tingkap ini jugalah Zack didatangi oleh seekor burung belatuk yang memberi beliau ilham dan panduan spiritual sebelum membuat keputusan. Dalam beberapa rujukan tamadun, burung belatuk adalah simbol binatang yang tidak berputus asa. Menurut pengkritik filem Hassan Muthalib, fizikal burung belatuk yang berwarna-warni itu seperti menggambarkan fizikal seorang rockers.\u00a0 Apakah Zack akan berjaya dalam pencarian makna hidupnya?\nSyot tingkap juga diambil sebagai jukstaposisi; ketika adegan Zack sedang bermain di saringan Battle of The Band, ibunya serta ibu kekasihnya, Kathy berbual tentang masa depan anak-anak mereka. Ketika Zack buat pertama kalinya tidak mengikut Rimba Bara bermain muzik, Zack digambarkan berada dalam rumah antara dua bidang tingkap. Salah satu tingkap tersebut tertutup. Satu peluang atau harapan mungkin tidak akan terbuka lagi dan Zack perlu membuat keputusan penting berkaitan hidupnya.\nPada penghujung filem, tingkap sekali lagi memainkan peranan penting. Zack melihat keluar dari tingkap rumah dengan rasa gembira dan optimis ketika majlis perkahwinannya. Kedua-dua tingkap terbuka melambangkan Zack mempunyai pilihan yang luas dalam hidupnya, iaitu dapat meneruskan pekerjaan hariannya dan juga terus bermain muzik. Namun hal ini tidak diketahui oleh Zack sendiri, sehinggalah beliau menemui surat Kathy beberapa tahun selepas itu.\nAda beberapa lagi unsur semiotik yang diatur dalam filem ini yang menghantar beberapa makna. Adegan klip video lagu Dari Sinar Mata menunjukkan ahli Rimba Bara bermain muzik di muzium. Apakah ini sekadar satu parodi kepada klip video rock kapak yang sering membuat penggambaran luar atau apakah yang akan dipamerkan sebenarnya? Genre muzik rock kapak ataupun cita-cita golongan muda di Malaysia dalam bidang seni?\nPersoalan jati diri tidak dilupakan oleh seniman jiwa besar seperti Mamat Khalid. Watak Amy Mat Piah mempersoalkan pemilihan nama kumpulan mereka yang diambil daripada bahasa kebangsaan. Beliau memberi contoh beberapa nama kumpulan rock yang menggunakan bahasa Inggeris, dengan tanggapan bahasa Inggeris atau bahasa asing lebih menyerlahkan identiti mereka sebagai artis rock. Adegan ini menunjukkan bahawa anak bangsa masih tidak yakin dengan bahasa sendiri, malah dunia seni juga tidak yakin dengan bahasa kebangsaan. Hal ini dapat dikaitkan dengan kemunculan nama-nama kumpulan rock kapak pada era tersebut yang banyak menggunakan bahasa Inggeris. Ironinya, mereka membincangkan hal ini di bawah atap rumah kampung. Anak-anak muda ini bercita-cita tinggi tetapi tanpa tunjangan yang teguh, perjuangan mereka sekadar berlegar di kampung halaman sendiri.\nTingkap rumah kampung merupakan cara Mamat Khalid melihat dunia. Impian yang besar tetap dapat dicapai tanpa meninggalkan jati diri. Pada penghujung hayatnya, Mamat Khalid bekerja dengan sangat kuat. Karya-karyanya ditinggalkan untuk menjentik dan mendidik dalam jenaka. Mamat berfikir untuk bangsanya dan kita perlu terus melihat dari tingkap yang betul untuk menghargai perjuangan seninya." "Lapan Tempat Rekreasi Menarik di Selangor\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Anda sudah bosan melakukan aktiviti senaman di kawasan perumahan anda? Apa kata sekali-sekala anda \u201ctukar angin\u201c pula? Jangan risau, negeri Selangor mempunyai banyak tempat rekreasi untuk anda bersenam seperti melakukan senaman ringan, berjoging mahupun berbasikal. Selain melakukan aktiviti senaman, anda boleh membawa seisi keluarga anda untuk beriadah sambil menghirup udara segar dan menikmati keindahan alam semula jadi. Di sini, pihak Tourism Selangor menyenaraikan lapan tempat rekreasi untuk anda kunjungi dan meneruskan gaya hidup sihat!\n1)\u00a0 Taman Tasik Shah Alam\nTaman Tasik Shah Alam terletak berdekatan dengan tarikan popular di Shah Alam iaitu Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz atau dikenali dengan Masjid Biru. Taman Tasik Shah Alam menawarkan hiasan landskap yang sangat indah dan menghijau, berkeluasan lebih dari 43 hektar serta direka oleh arkitek landskap terkenal, Fumiaki Takano. Taman awam pertama yang dibuka di negeri Selangor pada tahun 1985 ini sudah menjadi habitat kepada hidupan air tawar. Keluasan dan keindahan taman itu akan memberi ketengan kepada anda untuk melakukan aktiviti senaman atau berjoging.\n2) Maya Park Eco Ardence, Setia Alam\nRamai yang menyukai tempat ini, Maya Park Eco Ardence yang terletak di bandar Setia Alam ini. Tempat rekreasi ini sering menjadi pilihan pengunjung bagi menyaksikan pemandangan matahari terbenam, diiringi suasana tasik yang tenang. Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh anda lakukan di sini, antaranya ialah berjoging dan berbasikal di trek yang mengelilingi tasik tersebut. Sekiranya anda tidak mempunyai basikal, jangan risau kerana anda boleh menyewa basikal di sini!\n3) River Track Cycle Park, Klang\nRiver Track Cycle Park terletak di Klang, merupakan kawasan yang dikelilingi kehijauan yang memberikan ketenangan minda, badan dan jiwa. Nikmati panorama hutan bakau semula jadi yang berfungsi untuk meningkatkan persekitaran yang sihat dan lestari. Laluan sepanjang 1.8 kilometer di tebing Sungai Chandong Besar merupakan tempat yang sesuai untuk berjoging. Nikmati juga aktiviti berbasikal di trek sepanjang tiga kilometer yang dikelilingi dengan pemandangan yang menarik. Persekitaan yang tenang ini akan menjadikan pengalaman berbasikal dan berjoging anda tentunya lebih menyeronokkan!\n4) Elmina Central Park, Shah Alam\nElmina Central Park terletak di bandar Elmina di Shah Alam, kira-kira setengah jam pemanduan dari Kuala Lumpur. Trek joging dan berbasikal yang dibuka kepada umum terletak di pintu masuk bandar ini untuk pengunjung yang datang dari Guthrie Corridor Expressway. Selain aktiviti senaman, anda juga boleh membawa anak anda untuk bermain di taman permainan dan berjalan di kawasan pejalan kaki sambil menikmati pemandangan yang cukup indah!\n5) Perdana Lake, Jogging Track, Sunrise Point, Cyberjaya\nHabiskan waktu pagi anda dengan bersenam di taman ini kerana suasananya yang menenangkan dan selesa untuk melakukan aktiviti senaman mahupun riadah bersama keluarga. Anda boleh berjoging sambil melihat keindahan tasik yang sangat luas sambil menghirup udara segar. Trek joging dan berbasikal yang uas ini akan memberi keselesaan kepada anda seisi keluarga. Bukan itu sahaja, anda juga boleh berkelah di tepi trek tersebut!\n6) Ara Damansara Park, Petaling Jaya\nTerletak di pinggir Bandar Ara Damansara, taman rekreasi ini memiliki pelbagai kemudahan termasuk gelanggang badminton, bola keranjang dan taman permainan. Ara Damansara Park yang menawarkan trek joging sepanjang 1.9 kilometer akan memberikan kepuasan untuk anda bersenam mahupun berbasikal. Selain itu, ramai pengunjung yang membawa anak kecil mereka untuk bermain di taman permainan yang telah disediakan di sini.\n7) Dragonfly Park, Eco Grandeur, Puncak Alam\nDragonfly Park ini terletak di Eco Grandeur, Bandar Puncak Alam. Kawasan ini merupakan sebuah lokasi yang sangat cantik untuk melalukan aktiviti riadah pada waktu petang. Taman awam ini bakal memukau anda dengan pemandangan kawasan padang yang luas dipenuhi dengan kehijuan dan kawasan rumah bandar yang sangat cantik. Laluan trek jogingnya mungkin tidak sepanjang trek taman awam yang lain, namun tetap memberi kepuasan, di samping anda dapat menikmati keindahan sekeliling. Taman ini sesuai sekiranya anda ingin membawa anak kecil untuk berbasikal di persekitaran Dragonfly Park ini.\n8) Taman Jaya, Petaling Jaya\nTerletak di lokasi yang sangat strategik, anda boleh pergi ke sini dengan menaiki pengangkutan awam iaitu LRT dan turun di Stesen Taman Jaya. Taman rekreasi ini merupakan sebuah lokasi yang popular dalam kalangan penduduk Petaling Jaya untuk melakukan aktiviti berjoging dan beriadah. Taman yang tenang suasananya dan dikelilingi dengan pelbagai jenis pokok dan sebuah tasik yang cantik ini juga menjadi tempat anak muda meluangkan masa mereka bermain skateboard.\nTidak kira di waktu pagi mahupun petang, lazimnya ramai yang meluangkan masa dengan melakukan aktiviti yang menyihatkan seperti bersenam, berjoging dan berbasikal di taman awam dan tempat rekreasi, Amalan gaya hidup sihat akan memberi impak positif terhadap diri seseorang. Sekiranya anda ingin menukar angin dan bersenam dalam persekitaran baharu yang santai dan tenang, kunjungi tempat rekreasi di sekitar negeri Selangor, dan jangan lupa untuk selitkan tempat yang telah disenaraikan di atas dalam perancangan anda. Nikmati masa menyihatkan dengan Pusing Selangor Dulu!\nWalau bagaimanapun, adalah diingatkan kepada semua pengunjung untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara seperti memastikan penjarakan sosial, memakai pelitup muka setiap masa di tempat awam dan sesak, serta menggunakan cecair pembasmi kuman secara kerap.\nAnda juga boleh layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Negeri Selangor, atau terus ikuti laman media sosial rasmi Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan saluran YouTube Tourism Selangor untuk mengikuti sebarang kemas-kini. #PusingSelangorDulu." "Tingkatkan Kerjasama Kebudayaan Melalui Penulisan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPontian \u2013 Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Persatuan Penulis Johor (PPJ) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan Majlis Hari Puisi Hari Nasional ke-21 yang berlangsung di Rumah Citra Sri Pinang, Benut, Pontian, Johor bermula pada 29 Oktober hingga 30 Oktober 2021. Penganjuran Hari Puisi Nasional ke- 21 yang turut disokong oleh Kerajaan Negeri Johor itu dimulakan dengan majlis perasmian oleh YAB Dato\u2019 Haji Hasni Mohamad. Majlis turut disiarkan secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada 29 Oktober 2021, pukul 3.45 petang.\nDalam ucapan perasmiannya, YAB Dato\u2019 Haji Hasni menyeru PPJ supaya menjadi lebih rapat dengan masyarakat bagi memperkenalkan kesefahaman budaya di pentas antarabangsa. Menurut beliau, negeri Johor kini aktif memperkukuhkan kerjasama dengan negara serantau seperti kerjasama tiga negara iaitu Indonesia \u2013 Malaysia \u2013 Thailand menerusi Segitiga Pertumbuhan Indonesia \u2013 Malaysia \u2013 Thailand (IMT- GT) dan kerjasama dengan Singapura melalui Iskandar Regional Development Authority (IRDA).\nKerjasama antara negara ini tidak terhad kepada kerjasama sektor ekonomi dan pelancongan sahaja, tetapi turut mengukuhkan kerjasama kebudayaan. Sebuah pejabat khusus telah dibuka di Singapura supaya kerjasama kebudayaan dapat dilaksanakan selepas pandemik COVID-19.\nDalam hal ini, YAB Dato\u2019 Haji Hasni mencadangkan PPJ supaya bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memperkukuhkan kerjasama negeri Johor dengan kepulauan Riau melalui penulisan. Negeri Johor berhasrat untuk memperkukuhkan kerjasamanya antara Johor dengan Singapura dan Johor dengan Indonesia. Oleh hal yang demikian, PPJ diseru supaya memainkan peranan untuk menjadi jambatan kebudayaan pada peringkat antarabangsa.\nUsai merasmikan Hari Puisi Nasional ke-21, YAB Dato\u2019 Hasni turut melancarkan Antologi Puisi Karya Penyair Gapena dan Johor yang menampilkan naskhah Gema Membelah Gema 19, Soneta Pohon Zaitun, Anugerah Penyair Gapena 2021, Layar Juang, dan Munajat untuk Palestin.\nSeterusnya majlis diteruskan dengan Penyampaian Anugerah Penyair GAPENA 2021 kepada Ahmad Sarju, Mahaya Mohd Yassin dan Shapiai Mohd Ramly dan Penyampaian Anugerah Penyair Johor kepada Amiruddin Md Ali Hanafiah, Pengerusi HPN ke -21 yang juga merupakan Ketua Dua GAPENA." "Adaptasi Penilaian Karya Seni Visual Pasca COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKarya seni visual dinilai dengan memahami asas dan prinsip seni. Asas seni seperti titik, garis, bentuk, rupa, jalinan dan warna mempunyai karektor dan makna yang tersendiri. Prinsip seni dihasilkan dengan perancangan yang teliti sebelum diorganisasikan menjadi karya untuk dipersembahkan kepada masyarakat. Setelah karya berada dalam pameran, terserahlah kepada khalayak untuk menilai dan pengkarya perlu berlapang dada akan semua pujian atau kritikan.\nKemunculan wabak penyakit berskala pandemik COVID-19 bermula awal tahun 2020 di Wuhan, China yang seterusnya merebak ke seluruh dunia telah mengubah landskap kehidupan sejagat terutamanya dalam bidang kesihatan, keselamatan, ekonomi, agama termasuklah bidang pendidikan yang menerima tempias yang utama.\nBagi para pendidik dan penuntut dari fakulti yang berteraskan pengajian seni visual atau seni lukis yang terdapat di pelbagai universiti awam tentu sekali ada bezanya pengajian secara semuka dengan secara atas talian termasuklah dalam sesi penilaian karya seni visual. Penilaian karya seni visual seperti lukisan, catan, seramik, fesyen, arca dan lain-lain dilihat lebih sesuai dibuat secara bersemuka seperti lazimnya sebelum ini. Penilai dapat melihat, menyentuh, menghidu dan merasai kesan estetikanya secara langsung. Perasaan ini biasanya menzahirkan rasa aroma seni yang tersendiri.\nMutakhir ini, proses penilaian markah terpaksa berubah dengan dibuat secara atas talian. Kuliah tidak dapat berlangsung di universiti manakala proses penghasilan dan perkembangan karya oleh pelajar hanya dibuat dari rumah. Karya akhir pula hanya dapat kepada pensyarah secara pembentangan atas talian. Jesteru itu, bermain di fikiran, adakah markah yang diberikan kepada para pelajar boleh dianggap tepat berbanding pemarkahan secara langsung? Bagaimana pula kesahihan karya dapat dibuktikan apabila proses kreatif ini disiapkan di luar pemerhatian pensyarah?\nUntuk itu, penulis telah mendapatkan pandangan daripada Dr. Norzuraina binti Mohd Nor, pensyarah di Jabatan Seni dan Rekabentuk, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris.\nBeliau mengakui terdapat perubahan dalam kaedah penilaian karya di mana kaedah penilaian telah beralih kepada kaedah penilaian norma baharu pasca pandemik COVID-19. Jika sebelum ini, karya tiga dimensi dapat disentuh dan dirasai. Kini penilai perlu menggunakan pengalaman dan pengetahuannya hanya secara visual dan gerak rasa untuk menghakimi seluruh proses pengkaryaan. Beberapa prosedur dibuat secara sistematik agar setiap proses pengembangan idea sehingga ke karya akhir dapat diikuti. Para pelajar perlu menepati setiap prosedur penyediaan bahan dan dokumentasi seperti proses perbentangan proposal, pemilihan subjek ungkapan, lakaran\u00a0 sehinggalah ke lukisan akhir. Malahan, setiap perkembangan proses ini perlu dibentangkan kepada penyelia secara berkala.\nSebagai contohnya, proses penyediaan sesebuah karya catan akan dimulai dengan penyediaan subjek ungkapan (subject matter). Fasa awal ini akan dituruti ke fasa sumbang saran dalam sesi perbincangan dengan pensyarah. Huraian dan penerangan idea dibuat untuk maju ke proses ke seterusnya. Bukti dokumentasi inilah yang telah berubah di mana setiap perincian perbincangan sama da penambahan atau pengurangan idea karya merangkumi bahantara, teknik, teori dan media yang akan digunakan perlu direkodkan oleh para pelajar. Ia dijadikan fail dokumentasi dan disusun satu per satu agar penilai dapat mengikuti setiap fasa dengan jelas. Fail dokumentasi ini pula disusun dan dijadikan salah satu kriteria pemarkahan dalam proses penilaian akhir.\nPada masa ini, rubrik pemarkahan telah disediakan oleh pihak jabatan namun ia telah disesuaikan oleh para pensyarah selagi proses penilaian ini masih dibuat secara bukan bersemuka. Di sini, para pensyarah perlu menggunakan pengetahuan dan pengalamannya untuk menganalisa setiap jenis karya yang dinilai. Secara dasarnya, rubrik yang sedia ada masih relevan dari segi kriteria dan skala pemarkahan.\nDr. Norzuraina menjelaskan bahawa karya seperti seni catan yang indah tentu sekali dapat dihayati jika dapat disentuh, dirasa atau digunakan dengan tujuan estetika. Dalam fasa ini, beliau perlu menggunakan imiginasi dan beberapa rujukan sekitar untuk memahami nilai karya walaupun hanya dilihat secara atas skrin.\nMenggunakan pengalaman sebagai seorang yang banyak terlibat dalam penghasilan dokumen-dokumen pendidikan berkaitan Pendidikan Seni di Malaysia, ini membantu Dr Norzuraina dalam memahami dan membayangkan karya yang dipersembahankan secara simulasi. Beliau mengakui walaupun kaedah penilaian ini tidak memenuhi kepuasan penilaian secara bersemuka, namun ia merupakan kaedah yang terbaik untuk dilaksanakan buat masa ini.\nPengalaman sebagai guru seni, pegawai penulis buku teks di Kementerian Pendidikan Malaysia dan pengkaji karya-karya seni visual di Malaysia dapat membantu Dr. Norzuraina memahami dan membayangkan karya yang dipersembahkan. Beliau mengakui walaupun kaedah penilaian ini tidak memenuhi kepuasan penilaian secara semuka, namun ia merupakan kaedah yang terbaik untuk dilaksanakan buat masa ini.\nBeliau turut mengakui situasi ini memang mencabar dunia pendidikan. Beliau mengambil inisiatif dengan mempertingkatkan cara penyampaian maklumat yang lebih fleksibel dalam kuliah secara atas talian. Memahami para pelajar yang mempunyai pelbagai latar belakang, tentu akan berlaku kekurangan dan kelemahan dalam perjalanan kelas dan sesi penghasilan karya. Namun, setiap masalah yang timbul perlu diselesaikan dengan cara yang berhemah dan bersesuaian.\nCara fikir di antara pensyarah dengan pelajar juga perlu berjalan selari dan erat. Para pelajar juga seharusnya memainkan peranan mereka bagi menentukan fokus dan matlamat pengkaryaan mereka bagi setiap mata pelajar yang diambil. Belajar dengan inisiatif secara kendiri perlu diamalkan agar pelajar mampu mengekplorasi proses penghasilan karya walaupun tanpa infrastruktur yang mencukupi seperti bengkel atau mesin-mesin yang diperlukan semasa proses penghasilan karya. Perkara ini jika diambil dari sudut positif ia akan memberi impak yang positif kepada\u00a0 kemenjadian pelajar dalam meneroka dan memodifikasi bahan dan teknik bagi menghasilkan karya yang berkualiti.\nPembelajaran secara aktif berupaya memastikan para pelajar tidak ketinggalan mengikuti pembicaraan dalam kuliah. Pensyarah yang mampu mencuri perhatian pelajar akan dapat menterjemahkan suasana pembelajaran dan pengajaran dengan lebih berkesan. Dengan pendekatan baru yang lebih anjal, matlamat untuk memastikan proses pengkaryaan dapat diteruskan adalah lebih diutamakan. Di sini, rubrik pemarkahan yang disediakan sekali lagi dapat memandu sesi penilaian secara berterusan.\nDr. Norzuraina juga sentiasa mengambil inisiatif tambahan dengan merujuk kepada para pelukis yang lebih arif antaranya seperti Haslin Ismail yang sinonim dengan karya-karya media campuran,\u00a0 Juhari Said dengan karya-karya cetakan, Khairudin Zainudin dengan gaya catan dan ramai lagi. Malah, beliau turut merujuk kepada kurator dari galeri-galeri untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan maklumat yang perlu untuk dikongsi bersama pelajar.\nSebagai rumusan, proses penilaian karya seni oleh pensyarah tetap perlu dilaksanakan dengan mengambil seberapa banyak inisiatif yang dinamik sepanjang pandemik COVID-19 ini berlangsung. Bagi pihak pelajar seni visual, mereka berperanan memainkan usaha yang sama dengan fokus kepada setiap perkembangan pengkaryaan sehingga di akhirnya, karya yang dipersembahkan mampu dinilai sebagai hasil seni yang berkualiti sebagai potfolio seorang graduan yang berjaya." "Takhta Berdarah Mengangkat Kisah Bangsawan dan Sejarah Bangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Teater bangsawan, Takhta Berdarah yang dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 4 hingga 7 November 2021 mengangkat kembali kisah bangsawan dan sejarah bangsa untuk dihayati oleh masyarakat pada masa ini.\n\nTeater ini memaparkan sejarah salah satu kerajaan Melayu yang wujud di Nusantara, iaitu kerajaan Kesultanan Siak Sri Indrapura yang pernah menjadi wilayah naungan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dan kemudiaannya beralih kepada Kerajaan Johor-Riau. Raja Kecil Siak, Sultan Abdul Jalil Rahmad tewas dalam mempertahankan takhtanya dalam Kerajaan Johor-Riau. Walaupun telah beralih takhta menjadi Yang Dipertuan Besar Kerajaan Siak, baginda masih meneruskan peperangan ke atas Kerajaan Johor-Riau dan keadaan ini sekali gus melanggar sumpah yang pernah dilafazkan, iaitu baginda tidak akan menyerang Johor-Riau selepas kalah menentang Opu-Opu Daeng Lima Bersaudara. Perlanggaran sumpah tersebut menyebabkan baginda tidak siuman dan keadaan ini menjejaskan pemerintahan ke atas Kerajaan Siak.\nTurut ditampilkan dalam teater yang melibatkan tujuh babak ini ialah perebutan takhta antara kedua-dua anakanda Raja Kecil Siak, iaitu Yang Dipertuan Muda Raja Alam dengan Tengku Mahmud yang menyebabkan seluruh Kerajaan Siak mengalami huru-hara dan pada masa yang sama Tengku Kamariah, permaisuri baginda gering dan mangkat. Kemenangan yang berpihak kepada Tengku Mahmud menjadikan Raja Kecil Siak semakin tidak siuman kerana Yang Dipertuan Muda Raja Alam terpaksa keluar dari Siak. Keadaan tersebut menyebabkan baginda sentiasa berada di sisi makam permaisuri baginda sehingga baginda mangkat. Menutup tirai teater ini ialah monolog Tengku Mahmud dan Raja Alam yang menyesal akan perbuatan masing-masing dan bermuhasabah akan diri tentang peri pentingnya persefahaman dan sikap bertoleransi dalam mengekalkan persaudaraan dan takhta kerajaan demi kesejahteraan rakyat.\nTeater ini dipersembahkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan. Pementasan ini dianjurkan oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia, KPM dan English Language Teaching Center dengan usaha sama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Bahagian Profesionalisme Guru, Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknik Vokasional dan Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu dan dipentaskan oleh Kolej Vokasional Gombak dan Kelab Seni Seri Kenchana Malaysia. Teater ini turut dijayakan oleh Kumpulan Kesenian Citra Ugik, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor, Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia, Team Production, Suara Alam, Pak Malit dan Mak Shamsiah, Busana Herin Mansor, Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kolej Vokasional Gombak, DBP, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Menteri Besar Selangor dan Incorporated.\nObjektif pementasan ini adalah untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia, meningkatkan pengetahuan rakyat Malaysia tentang kemahiran seni berbahasa terutamanya puisi Melayu tradisional dan memelihara serta memulihara khazanah warisan bangsa Malaysia, iaitu teater bangsawan.\nSelain nilai sejarah melalui teater, pelbagai aspek bahasa dan budaya ditonjolkan dalam teater ini yang menjadikan teater ini bertambah menarik dan menghiburkan. Antaranya adalah melalui selingan tambahan (extra turn) seperti tarian Pakerena Tuppu Salewangeng, nyanyian Fatwa Pujangga, deklamasi sajak, nyanyian lagu asli, persembahan silat, persembahan Pajaga Makkunrai Wajo dan dendangan syair.\nKetua Pengarah Pendidikan Malaysia, KPM, YBhg. Datin Sri Nor Zamani Abdol Hamid yang berkesempatan hadir menonton teater tersebut mengucapkan tahniah kepada penganjur dan beliau menyatakan bahawa,\nPementasan ini merupakan satu usaha kolaboratif yang paling baik dan satu perancangan yang besar dan ia menghasilkan sesuatu yang saya rasa lebih hebat daripada blockbuster, dan ini bukan sahaja melibatkan pelajar dari kolej vokasional tetapi juga sokongan daripada pihak luar\u00e2\u20ac\u00a6 Pementasan ini merupakan sesuatu hasil yang baik kepada pendidik dalam melihat kemenjadian murid.\nBarisan pelakon yang menjayakan teater ini terdiri daripada para pelajar diploma Kolej Vokasional Gombak dan Raja Lawak Musim ke-3, iaitu Talam, Aziz dan Epul serta dibantu oleh penari, pesilat, pemuzik serta persembahan secara berpasangan dan individu.\nTurut hadir menyaksikan teater ini ini ialah YBrs. Puan Farah Mardhy Aman (Pengarah English Language Teaching Center), Puan Hajah Zanariah Haji Ahmad (Pengarah Bahagian Pendidikan dan Teknikal Vokasional, KPM), Tuan Haji Yahya Shefee (Pengarah Kolej Vokasional Gombak), YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa (Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP), YM Leftenan Bersara Tengku Aman Shah YAM Tengku Seri Asmara Akram Shah (Pengerusi Kumpulan Kesenian Citra Ugik), YBrs. Dr. Haji Muhd. Yusof Ibrahim (Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor), YM Andi Muhd. Irvan Zulfikar (Kerajaan Tuwung, Barru, Sulawesi Selatan), Encik Abu Bakar Effendie Hasjim (Timbalan Presiden CIOFF Malaysia, UNESCO) dan YM Raja Halinuddin Raja Halid (Waris Keturunan Raja Kecil Siak)." "Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu yang Memandaikan Bangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKUALA LUMPUR \u2013 Perancangan bahasa merupakan satu aspek penting dalam pembinaan negara malahan menjadi satu komponen teras yang menjadi jiwa dan unsur dalaman peribadi atau identiti negara. Dalam konteks di Malaysia, perancangan bahasa melibatkan bahasa Melayu yang dirancang untuk menjadi bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Perancangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu diasaskan daripada Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.\nDengan adanya dasar bahasa yang menentukan pemilihan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, barulah tahap yang seterusnya dilakukan dalam perancangan taraf bahasa. Perancangan bahasa meliputi tahap tertentu termasuklah pembakuan bahasa. Oleh itu, pembakuan bahasa meliputi seluruh sistem bahasa termasuklah sistem ejaan, peristilahan, kosa kata, tatabahasa, dan laras bahasa. Dalam usaha merancang bahasa yang berkaitan dengan sebutan, perkataan, ejaan baharu dan pembakuan, ejaan lama tidak dibuang. Ejaannya itu Cuma diperbaiki sahaja untuk distandardkan kembali bagi membentuk perkataan baharu.\nPerancangan bahasa juga melibatkan penyeragaman keseluruhan penggunaan bahasa itu supaya mudah digunakan oleh seluruh penutur sesebuah bahasa bagi tujuan pentadbiran dan menyampaikan pendidikan. Dalam pada itu, tujuan yang paling penting ialah mengisi bahasa itu dengan maklumat dan ilmu bagi memandaikan seluruh bangsa.\nDalam bahasa asing, hanya sebahagian kecil warga sesebuah negara akan mendapat pendidikan. Itulah tujuannya bahasa Melayu dirancang ejaan, nahu, dan istilahnya. Namun begitu, penggunaannya dan pengisiannya dengan sepenuhnya masih perlu diusahakan.\n\u201cKita mesti menggunakan bahasa Melayu untuk memperbanyakkan buku ataupun meninggikan kepustakaan dalam bahasa kita supaya kita dapat memandaikan bangsa kita\u201d.\nDemikianlah antara penerangan oleh Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, selaku ahli panel menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP yang bersiaran pada pukul 12.00 tengah hari tadi menerusi \u201cRancangan Bicara Karyawan: Perancangan Bahasa Melayu.\u201d" "Produk Kraf Tempatan Etnik Dusun Tindal di Sabah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSuku kaum yang mendiami negeri Sabah dapat dikenali melalui identiti budaya yang mereka amalkan. Amalan budaya tradisi yang paling ketara adalah dari segi hasil seni kraf dalam pakaian tradisional, jenis tarian, kraf tangan dan logat bahasa yang dapat membezakan mereka daripada suku kaum yang lain. Kepelbagaian budaya tradisi suku kaum ini menjadikan Sabah sebagai negeri yang kaya dengan warisan seni budaya dalam masyarakat. Etnik Dusun Tindal turut mempamerkan produk kraf tempatan yang sangat unik dan menarik untuk diselidik.\nEtnik Dusun Tindal dipercayai berasal dari Daerah Kota Belud dan tingal bersama dengan etnik Bajau, Iranun dan Dusun Tobilung. Kota Belud merentasi kawasan seluas 1385.6 kilometer persegi dan terletak di kawasan kaki Gunung Kinabalu. Jarak Kota Belud ke Kota Kinabalu adalah sejauh 77 kilometer. Daerah ini juga bersempadan dengan tiga buah daerah iaitu, daerah Kota Marudu di sebelah Utara, daerah Ranau di bahagian Timur dan daerah Tuaran di bahagian Barat.\nJumlah\u00a0 penduduk Daerah Kota Belud pada ketika ini ialah 91 272 orang dan etnik Dusun Tindal mendominasikan dengan jumlah 38 097 orang diikuti dengan etnik Bajau yang berjumlah 31 506. Etnik Dusun Tindal mempunyai pemikiran dan kearifan seni yang dimanipulasikan untuk mencipta barang keperluan harian seperti kraf tangan. Sebagai contohnya alat perkakasan rumah, senjata, jerat dan perkakasan pertanian. Oleh hal yang demikian, meraka mempunyai kepelbagaian seni warisan terutama hasil produk kraf tempatan.\nEtnik Dusun Tindal terkenal dengan hasil kraf sulaman dalam penghasilan pakaian tradisional. Pakaian tradisi telah menjadi identiti budaya etnik Dusun Tindal kerana keunikan reka bentuk dan aksesorinya. Terdapat tiga jenis pakaian tradisi etnik Dusun Tindal yang dikenali sebagai sinipak, rinagang dan sinuranga.\nSecara tradisinya, produk kraf anyaman yang dihasilkan oleh etnik Dusun Tindal kebanyakan berasaskan bahan alam semula jadi seperti kulit kayu, rotan, bambu dan kayu. Hasil kraf anyaman yang terbahagi kepada lapan jenis iaitu bakul nurod, sisiri, kinulung, sirung, barait, karansang, wakid, dan basung. Terdapat beberapa kraf lain yang dihasilkan dengan berasaskan bahan alam semua jadi iaitu, kraf sompoton, kraf kobog dan tembikar kuron. Kraf tangan tersebut mempunyai fungsi dan kegunaan dalam kehidupan seharian etnik Dusun Tindal.\nKraf wakid dan basung adalah salah satu hasil kraf tradisi yang berasaskan buluh, bambu, rotan dan kulit kayu.\u00a0 Penghasilan wakid dan basung mempunyai fungsi yang sinonim dengan aktiviti harian masyarakat Tindal iaitu, mengangkut dan menyimpan barangan harian. Kraf ini dipercayai terhasil daripada tuntutan keperluan hidup serta budaya pemikiran dan kearifan masyarakat Tindal sejak turun-temurun.\nProduk kraf etnik Dusun Tindal dihasilkan dengan proses yang sangat rumit dan memerlukan kemahiran yang tinggi. Para tukang kraf mestilah mempunyai kesabaran dan kreativiti untuk menghasilkan produk yang berkualiti. Hal ini dikatakan demikian kerana produk kraf yang dihasilkan akan dijual sebagai pendapatan sampingan mereka. Pada kebiasaannya, hasil produk kraf akan dihantar ke tamu minggu Kota Belud untuk dijual. Hasil jualan yang lumayan dapat mendorong si pembuat kraf untuk terus cenderung dalam penghasilan produk-produk kraf tangan. Terdapat dua peringkat harga bagi setiap jenis kraf iaitu, harga kepada pembeli dan harga kepada pemborong. Sebagai contoh, untuk harga pembeli, satu buah bakul kinulung dijual dalam RM10 hingga RM15, tetapi untuk harga pemborong yang membeli dengan jumlah yang banyak ialah RM5 hingga RM8. Harga kinulung biasanya boleh ditambah dan dikurangkan mengikut kehendak si penjual. Kota Belud terkenal dengan tamu minggu yang dijalankan pada setiap hari Rabu dan hari Ahad. Kawasan tamu terletak di tebing sungai Tempasuk yang menjadi pusat pertukaran dan jualan barang-barang harian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Kewujudan Tamu telah dikesan pada tahun 1840 oleh pengembara Inggeris yang bernama Spencer St. John dalam catatannya yang menceritakan tentang pertukaran barang antara masyarakat Bajau dan KadazanDusun. Masyarakat Dusun Tindal memanggil tamu sebagai badih manakala masyarakat Bajau memanggil sebagai Semio. Pada masa dahulu tamu diadakan di bawah rimbunan pokok kayu jati namun, kini telah berkembang dan diberi pengiktirafan kerana menjadi satu daya tarikan pengunjung dari dalam dan luar negeri.\nPelbagai barang jualan yang dijual seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan hasil produk kraf tangan. Pada kebiasaanya, barang jualan tersebut adalah daripada hasil tanaman sendiri oleh penduduk Kampung yang tinggal di sekitar daerah Kota Belud. Selain itu, penduduk yang tinggal berdekatan seperti penduduk daerah Ranau dan Kota Marudu juga turut datang berjual.\nPara penjual dikenakan bayaran tapak untuk berjual sebanyak RM3. Walaupun banyak kemudahan yang disediakan di tapak tamu Kota Belud seperti tapak berbumbung dan bersimen, tetapi keluasan tidak mencukupi kerana ramai penjual yang melibatkan diri. Oleh sebab itu, mereka kadang kala mengambil kawasan tapak meletakkan kenderaan sebagai kawasan untuk berjual. Hal ini mengakibatkan kesesakan lalu lintas di kawasan tapak tamu. Walau bagaimanapun, orang ramai tidak putus-putus mengunjungi yang datang dari semua tempat.\nAktiviti tamu minggu dan penjualan produk kraf tangan etnik Dusun Tindal walau bagaimanapun turut terbantut dan terhenti akibat daripada penularan pendemik COVID -19 pada hari ini. Keadaan ini telah menyebabkan para tukang kraf dan pengusaha produk kraf tangan tidak dapat menjual hasil produk mereka. Semoga masalah pendemik ini cepat berlalu agar aktiviti penghasilan dan penjualan produk kraf dapat dijalankan seperti biasa." "Adab Bertamu dalam Budaya Melayu dan Islam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada zaman moden ini, amalan bertamu dan menziarahi antara satu sama lain semakin terpinggir disebabkan kecanggihan alat komunikasi. Melalui panggilan video, kita dapat berhubung secara bersemuka dengan insan-insan yang kita sayangi walaupun beribu-ribu kilometer jauhnya. Namun, apabila situasi menjadi mudah dan senang kita melupakan amalan bertamu sedangkan amalan tersebut dituntut dalam Islam. Semasa zaman Rasulullah S.A.W, amalan bertamu ini amat digalakkan kerana tetamu yang datang ke rumah dianggap membawa rezeki kepada tuan rumah yang dikunjungi. Bukan sahaja amalan bertamu semakin terhakis dalam masyarakat moden hari ini tetapi pengetahuan berkaitan adab bertamu juga semakin cetek.\nBertamu dalam Kamus Dewan bermaksud\u00a0 datang atau berkunjung. Secara umumnya, bertamu merupakan kunjungan ke rumah orang lain yang tujuannya untuk megeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain. Masyarakat Melayu merupakan bangsa yang penuh kesopanan dan kesusilaannya mempunyai nilai-nilai hidup yang murni termasuklah amalan bertamu. Masyarakat Melayu sangat menghormati tetamu dan menerima tetamu merupakan satu penghormatan kepada tuan rumah. Safinah Mohamad dalam tulisan Shida Irwana Omar dan Badaruddin Mohamed yang bertajuk \u201cAmalan Hospitaliti Dalam Masyarakat Melayu Tradisional dan Sekarang: Kajian Kes Program Inap Desa di Jalan Bharu, Pulau Pinang\u201c mengaitkan penerimaan tetamu dan tuan rumah dengan nilai orang yang menabur budi dan orang yang terhutang budi iaitu tuan rumah merupakan orang yang menabur budi manakala tetamu merupakan orang yang terhutang budi. Tambahan pula, orang Melayu merupakan penganut beragama Islam sangat mementingkan amalan bertamu.\nIslam sangat menggalakkan umatnya agar sentiasa berusaha untuk mengeratkan silaturahim dan ukhwah antara satu sama lain. Menurut ustaz Muhammad Abdullah al-Amin, amalan ziarah ialah merupakan amalan sunat dan sangat dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW kerana sesiapa yang mengamalkannya mampu dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Tuntutan amalan ini menjadi lebih berat jika saudara kita itu berada dalam kesusahan atau pun terlantar sakit. Namun begitu, dalam berziarah dan berkunjung, kita sebagai seorang yang beragama Islam sewajarnya mengikut panduan yang digariskan oleh Islam agar segala tindak-tanduk kita tidak menjadi punca kepada terputus atau merenggangkan hubungan silaturrahim. Adab ziarah dan bertamu bukanlah hanya terletak kepada satu pihak sahaja, sebaliknya kedua-dua pihak, iaitu tuan rumah dan tetamu. Dalam hal ini, kita perlu sentiasa menjaga kelakuan dan adab kita agar amalan kunjung-mengunjungi ini mampu mengeratkan hubungan silaturahim, dan bukanlah sebaliknya.\n\u00a0\nAdab Tuan Rumah\nBagi tuan rumah, tetamu yang bertandang ke rumahnya merupakan satu amanah Allah yang harus ditunaikan haknya. Bukan itu sahja, tuan rumah juga harus memuliakan tetamu yang mengunjungi rumahnya kerana ianya merupakan perbuatan yang terpuji. Hal ini seperti kisah Nabi Ibrahim AS yang memuliakan tetamu dan telah disebut dalam Al-Quran melalui surah ad-Dzariyat, ayat 24 hingga 27. Berdasarkan ayat tersebut, telah digariskan beberapa adab yang boleh diikuti sebagai tuan rumah ketika melayani tetamu yang bertandang ke rumah masing-masing. Antaranya termasuklah:-\nSelepas mempelawa tetamu masuk, nabi Ibrahim AS terus berusaha mempersiapkan juadah. Namun, masyarakat pada hari ini asyik bersembang sehingga lambat atau ada kalanya terus terlupa menghidangkan juadah buat tetamu masing-masing.\nAda antara tuan rumah juga sekadar manis mulut bertanyakan kepada tetamunya sama ada sudah makan atau belum. Tuan rumah akan menarik nafas lega jika tetamunya memberitahu yang mereka sudah makan. Dalam hal ini, sudah tentulah tetamu akan malu jika mereka menjawab kepada tuan rumah yang mereka masih belum makan.\nMelalui kisah Nabi Ibrahim AS, kita mengetahui bahawa baginda secara senyap-senyap memberitahu isterinya agar menyiapkan hidangan untuk tetamu baginda yang datang. Namun, ada antara tuan rumah ini dengan lantang dan kuat mengarahkan isterinya menyiapkan hidangan buat tetamu yang berziarah.\nDalam hal ini, ada di kalangan tuan rumah yang kedekut untuk menghidangkan juadah kepada para tetamunya atau pun mereka hanya menghidangkan hidangan yang tidak digemari atau disukai oleh mereka. Sebaliknya, tuan rumah perlu menghidangkan hidangan yang terbaik dan bukannya lebihan atau pun bukan kegemaran mereka semata-mata.\nJika kita menghidangkan bebrapa jenis hidangan buat tetamu, sudah tentulah mereka hanya mencapai yang dekat dengan mereka. Hal ini kerana mereka malu atau pun tangan mereka tidak boleh mencapainya. Jadi, adalah menjadi tugas tuan rumah untuk menghulurkan hidangan yang jauh kepada para tetamu mereka.\nAda antara tuan rumah hanya menghidangkan hidangan tanpa mempelawa tetamu mereka untuk menikmati hidangan tersebut sedangkan sebagai tuan rumah kita perlu pelawa tetamu untuk makan.\n\u00a0\nAdab Tetamu\nAdab berziarah juga bukan hanya tergalas di bahu pihak tuan rumah semata-mata. Bahkan kita sebagai tetamu yang berziarah juga perlu mengkiut adab-adab yang digariskan dalam Islam agar tujuan berziarah dapat dicapai. Pelbagai kisah ketidakpuasan hati pihak tuan rumah boleh kita baca di laman media sosial semasa musim perayaan. Ada yang berakhir dengan pergaduhan dan bermasam muka yang\u00a0 sememangnya bertentangan dengan tujuan berziarah dalam Islam. Antara adab sebagai tetamu ketika berziarah termasuklah-\nSebagai tetamu, kita perlu memilih waktu yang sesuai untuk bertandang kecuali jika ada keperluan untuk datang pada waktu malam seperti ingin meminta bantuan atau berlakunya kecemasan. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: \u201cSesiapa yang melepaskan saudara mukmin daripada kesusahan di dunia maka Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat.\u201d (Hadis Riwayat Muslim dan at-Tirmizi).\u00a0 Adalah lebih elok, jika kita dapat maklumkan terlebih dahulu kedatangan kita. Hal ini adalah sebaliknya jika tuan rumah tersebut membuat rumah terbuka.\nPerbuatan ini merupakan antara adab yang dibuat oleh Rasulullah ketika baginda berziarah. Ketika berziarah ke rumah Ubadah bin Somit, baginda mendoakan tuan rumah tersebut dengan doa yang bermaksud: \u201cOrang yang berpuasa berbuka di tempat kalian, orang-orang yang baik makan makanan kalian dan para malaikat akan mendoakan kalian.\u201d (Hadis Riwayat Abu Daud).\nAda antara kita ketika berziarah, akan duduk dan berborak terlalu lama\u00a0 sehingga menimbulkan perasaan kurang senang di pihak tuan rumah. Nabi S.A.W pernah mengingatkan umatnya mengenai hal ini melalui sabda baginda yang bermaksud: \u201cSesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka muliakanlah tetamunya. Memberi hidangan adalah selama sehari dan semalam. Layanan terhadap tetamu adalah selama tiga hari. Yang lebih dari itu adalah sedekah.\u00a0 Tidak boleh bagi tetamu itu untuk duduk lama sehingga tuan rumah boleh mengeluarkannya.\u201d (Hadis Riwayat al-Bukhari)\nPerbuatan tersebut adalah untuk memelihara maruah dan menjaga aurat penghuni yang berada dalam rumah yang kita kunjungi. Bahkan Rasululullah S.A.W mengelak daripada berdiri berhadapan pintu sebaliknya memilih sama ada di sudut kira mahu pun kanan ketika mendatangi rumah sahabat baginda.\nRinganlah mulut kita untuk memberikan salam ketika berzirah kerana amalan tersebut sebenarnya membezakan antara umat Islam dengan golongan Yahudi dan Nasrani. Setelah memberikan salam, berjabatlah tangan sesama mahram. Adab ini merupakan antara tuntutan Rasulullah S.A.W bagi menggambarkan perasaan kasih, gembira dan hormat. Huzaifa Ibnu Yaman menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: \u201cApabila dua orang beriman bertemu antara satu sama lain dan selepas mereka memberikan salam saling berjabat tangan, maka mereka dibersihkan daripada dosa mereka sebagaimana daun gugur daeipada pokok.\u201d (Riwayat at- Tabarani).\nTuntasnya, amalan berziarah antara satu sama lain mampu memekarkan silaturrahim bukan sahaja antara sanak saudara semata-mata tetapi juga jiran dan masyarakat. Namun, ianya juga menjadi antara punca yang boleh merenggangkan dan memutuskan silaturahim sesama kita disebabkan oleh kegagalan kita untuk menjadi tuan dan rumah tetamu yang baik dan beradab. Amalan ziarah-menziarahi menjadi satu budaya indah masyarakat kita jika disulamkan dengan adab berziarah dalam Islam. Hal ini dikatakan demikian kerana amalan tersebut dapat menjadi antara asbab seseorang manusia untuk mengecap nikmat syurga. Mudahan selepas ini kita tidak lagi disajikan dengan cerita kurang enak oleh pihak tuan rumah ketika menerima tetamu masing-masing di laman sosial." "Lensa Warna-warni Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJika dahulu, Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis ialah sebuah perkampungan nelayan tradisional, namun kini berubah menjadi perkampungan warna-warni yang indah selepas pelaksanaan Projek Diraja Program Transformasi Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis yang dikemudikan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis dan Yayasan Tuanku Syed Putra, Perlis dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta sejak Disember 2020.\nTerdapat tujuh buah kampung yang berada di kawasan Kampung Seberang Ramai, iaitu Kampung Tengah, Kampung Hujung Tanjung, Kampung Tandiap, Kampung Baru Seberang, Kampung Seberang Alor, Kampung Seberang Jaya dan Kampung Pulau Ketam.\nIlham transformasi yang dicetuskan oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis bersama-sama Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, anakanda puteri sulung baginda telah membawa perubahan yang besar kepada masyarakat di kawasan Kampung Seberang Ramai.\nYang berikut dipaparkan foto dan video yang disediakan oleh editor Dewan Budaya dan jurufoto, Hanafi Mohd Yusof." "Merealisasikan Ilham Tranformasi Diraja\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada akhir Disember 2020, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan fasa pertama Program Transformasi Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis. Sejak itu, Kampung Seberang Ramai yang digelar \u201cKampung Warna-warni\u201d oleh DYTM Raja Muda Perlis menjadi tarikan baharu para pengunjung yang datang ke negeri Perlis.\nProgram transformasi yang diilhamkan oleh DYTM Raja Muda Perlis ini mendapat sokongan padu daripada pelbagai jabatan dan agensi, termasuklah penduduk kampung yang menghuni lokasi tersebut. Selaku agensi yang berada di bawah naungan Raja Perlis, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perlis (MAIPs) merupakan teraju utama yang mendukung usaha transformasi Kampung Seberang Ramai.\nUntuk mendapatkan maklumat terperinci berkaitan dengan program tranformasi yang memperlihatkan kejayaannya pada fasa pertama, editor daripada Bahagian Majalah, Puan Siti Noorisa Abdul Khlil dan Puan Syaza Wardina Abd. Khalik bersama-sama Ketua Editor Bahagian Buku Sastera, Puan Nurul Julia Alani berkunjung ke Perlis untuk mewawancara Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.\nSebagai pembuka wawancara tersebut, Haji Mohd Nazim menjelaskan bahawa pemilihan Kampung Seberang Ramai dibuat sendiri DYTM Raja Muda Perlis ekoran sejarah kampung tersebut yang dahulunya merupakan kampung yang pernah didiami oleh Raja Perlis, Raja Syed Alwi Ibni Syed Saffi Jamalullail. Selain itu, di Kampung Seberang Ramai juga terdapat mercu tanda yang diwarisi daripada masa silam, iaitu Anjung Persinggahan Diraja yang dibina sebagai tempat persinggahan raja semasa mengunjungi kampung yang terletak di kuala sungai itu.\n\n\u201cMatlamat utama program transformasi Kampung Seberang Ramai adalah untuk memberikan nilai tambah pada kampung yang menjadi petempatan awal penduduk di negeri Perlis. Matlamat tersebut dititahkan oleh Raja Muda Perlis setelah melihat sendiri keadaan kampung tersebut yang perlu diberikan wajah baharu,\u201d demikian ulas Haji Mohd Nazim apabila menceritakan ilham pembaharuan lokasi yang menempatkan tujuh buah kampung.\nAspek pembaharuan yang diberikan tumpuan pada fasa pertama adalah melakukan penambahbaikan dan pengindahan kampung. Antara pembaharuan tersebut termasuklah mengecat rumah dengan warna yang ceria, terutamanya berdasarkan warna bendera negeri Perlis, membuat dekorasi menggunakan barangan terbuang dan mewujudkan laman berdasarkan tema tertentu.\nSelain melakukan perubahan dari aspek fizikal kampung, transformasi yang diilhamkan oleh DYTM, Raja Muda Perlis juga melibatkan perubahan dari aspek mentaliti masyarakat yang menjadi penghuni tetap Kampung Seberang Ramai. Menurut Haji Mohd Nazim, nilai positif yang wujud dalam diri masyarakat hasil daripada tranformasi yang dilakukan terhadap kampung tersebut ialah masyarakat begitu menghargai keceriaan yang mereka nikmati setelah kampung mereka diberikan wajah baharu.\nAspek kebersihan juga diutamakan oleh penduduk kampung kerana setelah berlakunya transformasi, Kampung Seberang Ramai telah dikunjungi oleh pelancong yang melawat ke negeri Perlis. Maka itu, sebagai tarikan baharu di Perlis dan untuk memastikan kampung tersebut kekal menjadi destinasi pelancongan, aspek kebersihannya harus dijaga setiap masa.\nSalah satu program yang dirancang secara khusus mengiringi projek transformasi Kampung Seberang Ramai ialah \u201cTrash to Cash\u201d. Menurut Haji Nazim, projek Trash to Cash bermaksud penduduk kampung digalakkan untuk memanfaatkan barangan terpakai atau barangan yang sudah tidak digunakan dan barangan terbuang seperti botol plastik.\nSelain dapat membersihkan kawasan kampung dengan lambakan barangan terbuang, penduduk kampung juga memperoleh wang daripada hasil jualan barangan terpakai tersebut. Sesetengah barangan terpakai itu diolah oleh penduduk menjadi objek tertentu untuk menghiasi halaman rumah masing-masing.\nBagi yang telah mengunjungi Kampung Seberang Ramai, mereka pasti telah melihat dinding luar kampung yang diceriakan dengan cat yang berwarna-warni. Pemilihan cat yang berwarna-warni bertujuan untuk mewujudkan semangat cintakan negeri Perlis melalui penggunaan warna bendera Perlis, iaitu kuning dan biru.\nHal inilah yang menyebabkan Kampung Seberang Ramai digelar \u201cKampung Warna-warni\u201d oleh DYTM Raja Muda Perlis. Malahan terdapat sebuah jambatan yang diberikan nama Jambatan Tuan Syed Putra turut diceriakan dengan warna-warni sehingga digelar \u201cpelangi buatan\u201d oleh para pengunjung.\nSebagai penutup wawancara, Haji Mohd Nazim menyatakan Kampung Seberang Ramai akan mengalami tujuh fasa pembaharuan yang dilakukan secara berterusan. Tambah beliau, uniknya program transformasi ini selain mendapat perhatian utama oleh DYTM Raja Muda Perlis, program itu juga mendapat sokongan daripada banyak pihak dan kerjasama.\nHaji Mohd Nazim juga melahirkan rasa gembira kerana ilham transformasi diraja ini mendapat kerjasama yang sangat baik daripada penduduk kampung yang melakukan sendiri kerja mengecat rumah dan membuat kebersihan di kawasan kampung. Bahkan beliau sendiri juga sering berkunjung ke kampung tersebut sebagai tanda sokongan yang berterusan bagi memastikan keceriaan kampung yang bersejarah itu terpelihara dan kekal menjadi destinasi yang dikunjungi oleh pelancong yang datang ke negeri Perlis." "Long Jaafar dan Menteri Ngah Ibrahim Pencetus Sejarah Pendidikan Formal Negeri Perak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSekolah Melayu yang pertama di Perak ditubuhkan pada tahun 1826 di Matang Gelugur, di daerah Matang, Perak. Kewujudan sekolah ini secara umumnya menunjukkan sejarah pendidikan formal di negeri Perak bermula pada tahun 1826.\nInisiatif Che Long Jaafar bin Dato\u2019 Paduka Setia Long Abdul Latif membina Sekolah Melayu di Matang Gelugor pada tahun 1826 ini juga telah menjadi batu asas kepada penubuhan Maktab Melayu Matang (dikenali sebagai Muzium Matang sekarang).\nSebelum termeterainya Perjanjian Pangkor pada tahun 1874, hanya terdapat tiga buah Sekolah Melayu sahaja, iaitu di Matang Gelugur, Kuala Kurau dan di Temelok, Trong. Sekolah tersebut merupakan sekolah pengajian al-Quran yang mengkhususkan pelajaran agama Islam dan tulisan Jawi.\nPenubuhan sekolah tersebut juga bertitik tolak daripada inisiatif pembesar Melayu atau orang perseorangan seperti Che Long Jaafar yang telah melihat kejayaan sistem pendidikan formal di Negeri-negeri Selat. Long Jaafar yang dilahirkan sebagai seorang manusia intelektual dan berpandangan jauh telah mengasaskan sejarah pendidikan di negeri Perak dengan mendirikan Sekolah Melayu Matang Gelugor yang dibina pada tahun 1826.\nChe Long Jaafar juga ialah sosok penting yang menjadi pengasas perkembangan bandar Taiping. Sebagai seorang jutawan bijih timah Melayu, perkembangan sejarah moden bandar warisan ini banyak berkait dengan kewibawaan beliau. Selain bijih timah, Long Jaafar juga terbukti sebagai seorang pedagang dan usahawan Melayu yang berjaya dalam bidang pertanian dengan memiliki ladang kopi di Asam Kumbang, Taiping dan ladang tebu di Kerian. Tebu tersebut dihantar ke Pulau Pinang melalui Pelabuhan Kuala Gula dan diproses menjadi gula untuk menampung keperluan harian penduduk pada ketika itu.\nSelepas termeterainya Perjanjian Pangkor pada tahun 1874, usaha pembukaan sekolah telah dipergiatkan. Pada tahun 1890, terdapat 18 buah sekolah Melayu dan tiga buah sekolah Inggeris yang dikelolakan oleh Mubaligh Kristian. Hingga tahun 1900, terdapat 64 buah sekolah Melayu dan tujuh buah sekolah Inggeris di negeri Perak. Sekolah Inggeris yang pertama pula ditubuhkan pada tahun 1883 dengan nama Central School di Taiping.\nOleh sebab pertumbuhan sekolah begitu menggalakkan pada ketika itu dan atas desakan Residen dari semasa ke semasa maka pada tahun 1890, tertubuhnya Jabatan Pelajaran di Perak. H.B. Collinge, seorang guru Sekolah Kerajaan di Melaka telah dilantik mengetuai Jabatan Pelajaran Perak dengan gelaran Inspector of Schools (Nazir Sekolah-Sekolah). Kemasukan pendatang dari India dan China yang dibawa masuk oleh pihak British menjadi titik tolak bermula sekolah Tamil dan Cina di negeri Perak dengan membawa sistem pendidikan dari negara masing-masing.\nPada tahun 1900, sebuah sekolah Tamil ditubuhkan oleh masyarakat India setempat di Simpang, Lima Parit Buntar, Perak dan pada tahun 1919, sekolah tersebut menjadi sekolah kerajaan. Sementara itu, pada tahun 1902, masyarakat Cina di Sitiawan telah menubuhkan sebuah Taman Anak-anak Yatim di Kampong Koh, Setiawan yang menjadi asas kepada penubuhan sekolah Cina yang pertama di negeri Perak.\nSebelum tahun 1899, sukatan pelajaran sekolah aliran Melayu hanya setakat darjah tiga dengan mengguna pakai kurikulum asas seperti aspek membaca, tulisan, karangan dan ilmu alam. Pada tahun 1891, telah tercetus inovasi baharu dalam sistem pendidikan dengan diperkenalkan tulisan rumi dalam kurikulum sekolah Melayu mulai darjah tiga. Dengan terlaksananya inovasi tulisan rumi telah menimbulkan sedikit perasaan syak wasangka masyarakat Melayu dan golongan ulama Islam terhadap sukatan pelajaran di sekolah.\nPada tahun 1899, darjah empat di sekolah Melayu dimasukkan pula pelajaran Objek (Bunga dan Tumbuhan di Tanah Melayu). Seterusnya pada tahun 1904, tulisan rumi diperkenalkan dari darjah dua.\nMaktab Perguruan di Taiping\nEvolusi pendidikan negeri Perak semakin berkembang dengan tertubuhnya institusi pendidikan yang lebih tinggi. \u00a0Taiping boleh dianggap sebagai pusat intelektual untuk orang Melayu kerana pada tahun 1898 ditubuhkan Maktab Perguruan di Taiping untuk melatih guru sekolah Melayu. Pada tahun 1900, maktab tersebut telah ditutup ekoran tertubuhnya Maktab Guru Melaka.\nPada 11 Oktober 1913, Maktab Perguruan Melayu ditubuhkan semula di negeri Perak bertempat di bangunan rumah Ngah Ibrahim. Maktab Perguruan di Matang ini adalah satu-satunya sekolah yang memberikan pelajaran lebih daripada darjah lima. Dikatakan penubuhan maktab ini merupakan hasil daripada minat Sultan Idris yang mengambil berat terhadap pelajaran kanak-kanak dalam negerinya.\nMaktab tersebut dibuka bulan Oktober 1913 untuk melatih guru Melayu. Kakitangannya terdiri daripada seorang guru besar dan guru penolong Melayu serta guru al-Quran. Pengetua pertamanya ialah Alexander Keir dan beliau telah dilantik sebagai Nazir sekolah-sekolah di Perak serta seterusnya sebagai pemangku Pengarah Pelajaran. Maktab ini memulakan sesi pembelajaran pada 1 November 1913 hingga tahun 1920.\nPada tahun pertama, Maktab Melayu ini menerima sebanyak 27 orang penuntut kelahiran negeri Perak yang terdiri daripada lulusan darjah lima sekolah Melayu. Kesemua penuntut menerima elaun sebanyak RM1.50 sebulan dan elaun tersebut dinaikkan kepada RM3.00. Buku bacaan mata pelajaran Bahasa Melayu ketika itu, bertajuk Sejarah Melayu (tulisan jawi) dan Hikayat Abdullah (tulisan rumi). Penuntut diajar dalam mata pelajaran kira-kira, Bahasa Melayu, berkebun, Pendidikan Agama, tulisan, peta, pengetahuan am dan berkawad. Dianggarkan sebanyak 25 orang penuntut yang diambil pada setiap tahun untuk dilatih menjadi guru di maktab ini. Dalam masa sembilan tahun, maktab ini telah melahirkan sebanyak 200 orang guru.\nBagi memenuhi keperluan latihan mengajar, setiap penuntut dihantar selama seminggu secara bergilir-gilir ke Sekolah Melayu Matang, Sekolah Melayu Matang Road, Sekolah Melayu Matang, Gelugor dan Sekolah Melayu Simpang. Maktab Perguruan Melayu Matang juga dijadikan sebagai tempat latihan bagi calon Penolong Nazir Sekolah Melayu dan menyediakan kursus bagi Guru Pelawat dan Penolong Guru Pelawat.\nSekolah Melayu\nSelepas Maktab Perguruan Matang dibubarkan pada tahun 1922, kekosongan rumah Ngah Ibrahim telah digunakan sebagai Sekolah Melayu (L) Matang. Pada tahun 1941, Sekolah Melayu (L) Matang terpaksa dipindahkan semula ke bangunan lamanya, iaitu di Jalan Menggala kerana rumah Ngah Ibrahim telah diambil alih dan dijadikan sebagai markas pertahanan tentera Jepun.\nPada ketika itu, persekolahan terganggu dan terhenti dengan serta-merta ekoran tercetus Perang Dunia Kedua yang dihujani dengan bom serta tembakan. Kesan runtuhan tembok kota di bahagian hadapan kota Ngah Ibrahim adalah kerana tembok tersebut telah dirempuh oleh kapal terbang tentera Jepun yang jatuh terhempas.\nSemasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, pembelajaran yang diwujudkan oleh Jepun lebih menekankan semangat dan pandangan supaya cinta akan Dai Hippon. Pelajaran rendah yang ditetapkan oleh pemerintah Inggeris ketika sebelum perang dikekalkan. \u00a0Akan tetapi, bidang pelajarannya diubah.\nSetelah tamatnya Perang Dunia Kedua, iaitu pada tahun 1946, rumah Ngah Ibrahim digunakan semula sebagai Sekolah Matang. Pada ketika itu, pelajar dari Sekolah Melayu (L) Matang dan Sekolah Melayu (P) Matang telah digabungkan. Pada hari pertama persekolahan hanya terdapat 30 orang murid sahaja yang hadir untuk mengikuti sesi persekolahan.\nSekolah Kebangsaan Matang\nPada tahun 1957, Sekolah Melayu Matang telah ditukar kepada Sekolah Umum Matang yang pada akhirnya menjadi Sekolah Kebangsaan Matang. Memandangkan keadaan murid yang semakin bertambah dan faktor keselamatan pelajar, maka sebuah bangunan baharu untuk dijadikan sebagai Sekolah Kebangsaan Matang telah dibina dan siap pada tahun 1983.\u00a0 Bangunan sekolah yang baharu terletak di luar kota Ngah Ibrahim dan mula digunakan pada 3 Januari 1984.\nSeterusnya, pada tahun 1884, rumah Ngah Ibrahim dijadikan sebagai kelas pengajian al-Quran dan fardu ain. Di samping itu, rumah tersebut juga digunakan sebagai tempat aktiviti kelas KEMAS, iaitu sebanyak dua kali seminggu dan sekali-sekala dijadikan sebagai tempat mesyuarat atau perhimpunan penduduk kampung. Kini, Sekolah Kebangsaan Matang tersebut menjadi Pejabat Pentadbiran Muzium Matang manakala rumah Ngah Ibrahim dijadikan sebagai sebuah muzium." "Selera Pulau Mutiara yang Menggamit Pelancong\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBagi pencinta makanan khususnya di Malaysia, Pulau Pinang begitu sinonim sebagai satu daripada destinasi persinggahan untuk pengunjung menikmati pelbagai rasa makanan yang menjadi keistimewaan pulau tersebut.\nApa tidaknya, Pulau Pinang sememangnya terkenal dengan pelbagai jenis makanan yang dihasilkan berasaskan rempah, terutamanya kuah nasi kandar dan ais cendol yang menjadi pemanis mulut dan penghilang rasa haus. Antara makanan yang paling popular semestinya nasi kandar dengan kuah kari yang pekat, rojak pasembor, sotong kangkung dan ais kepal.\nDisebabkan oleh keaslian, keunikan dan variasi makanan yang terdapat di negeri ini, tidak hairanlah jika Pulau Pinang digelar sebagai \u201csyurga makanan\u201c dan menjadi destinasi pilihan rata-rata pengunjung yang gemar melakukan aktiviti pencarian serta mencuba berbagai-bagai menu makanan baharu.\nRuangan \u201cKembara\u201c pada kali ini akan menyajikan pembaca dengan foto pelbagai jenis makanan yang boleh dinikmati di Pulau Pinang.\n1. Nasi Kandar\n2. Rojak Pasembor\n3. Mi Goreng Mamak\n4. Char Kuetiau\n5. Kacang Masala\n6. Jeruk Buah\n\n7. Ais Sarbat atau Ais Tingkap\n8. Ais Cendol" "Ketahui Budaya Kerja Masyarakat Jepun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Rancangan Luar Jendela Komuniti Jepun bertajuk \u201cBudaya Kerja Orang Jepun\u201d telah diadakan secara dalam talian menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 27 November 2021, pukul 9.00 malam.\nPada kali ini, DBP menampilkan lima orang warga Jepun yang dijemput secara eksklusif dari Tokyo yang mahir bertutur dalam bahasa Melayu untuk berkongsikan mengenai budaya kerja warga tempatan yang terkenal dengan kerajinan, disiplin dan ketepatan masa.\n\nMenurut Eiko Shomura atau nama Melayunya, Eizwany, warga Jepun sangat suka bekerja sehingga lewat malam, malah ada yang membawa pulang komputer riba dan telefon bimbit syarikat untuk menyiapkan kerja di rumah. Beliau juga menjelaskan bahawa jika terdapat isu di pejabat yang perlu ditangani dengan segera, pekerja akan terus pergi ke pejabat walaupun jam menunjukkan pukul 2.00 pagi dan jika diminta oleh pegawai.\nKita mungkin tertanya-tanya, adakah budaya sebegini tidak memberikan tekanan kepada pekerja? Bagaimanakah mereka mampu meneruskan kerja dengan penuh semangat setiap hari?\nAyaka Yui atau Aishah berkongsi bahawa pekerja Jepun sentiasa menjaga hubungan baik sesama mereka dalam syarikat. Hubungan yang jernih tanpa bermasam muka sudah tentu dapat melancarkan kerja dan mengurangkan tekanan di tempat kerja. Selain itu, Mikiko Kitanaka atau Kamariah akan makan tengah hari bersama-sama rakan sepejabat dan berkongsi berkenaan dengan kerja, keluarga dan masalah untuk mengelakkan tekanan di tempat kerja.\nJepun merupakan sebuah negara yang maju yang dikelilingi dengan syarikat besar dan teknologi terkini bertaraf dunia. Namun begitu, kebanyakan warga Jepun masih tinggal jauh dari tempat kerja dan sekolah. Hal ini menyebabkan mereka terpaksa menghabiskan masa selama satu jam atau lebih untuk tiba di destinasi.\nAkari atau dikenali sebagai Atiyah oleh guru Bahasa Melayunya akan menghabiskan masa tersebut dengan membaca buku, menonton video atau mendengar muzik di dalam kereta api. Sesetengah warga Jepun pula akan mengambil kelas dalam talian untuk menambah kemahiran atau belajar bahasa asing seperti bahasa Inggeris kerana hal yang demikian dapat menyumbang kepada kenaikan gaji dan pangkat serta perkembangan karier mereka di Jepun. Namun demikian, ada juga antara mereka yang mengambil masa tersebut untuk berehat kerana perjalanan jauh menyebabkan badan mereka penat sebelum memulakan kerja.\nBeberapa aspek kerja warga Jepun adalah hampir sama dengan Malaysia.\nTakuji Arai atau Tahir berpendapat bahawa syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) di Jepun dinaungi oleh generasi muda dan sangat mudah untuk dinaikkan pangkat jika seseorang berkemahiran tinggi. Syarikat besar pula mempunyai sistem birokrasi dan biasanya diketuai oleh generasi baby boomer.\nApa-apa pun, antara perkara signifikan yang boleh dicontohi oleh warga Malaysia dari segi budaya kerja warga Jepun ialah ketepatan masa.\n\nAtiyah berkongsi pengalaman beliau yang pernah melihat sendiri pekerja yang tiba 30 minit atau satu jam lebih lewat dari waktu mesyuarat dimulakan. Berbeza dengan pekerja Jepun yang tiba selewat-lewatnya 15 minit lebih awal,\u00a0 agenda yang dijadualkan boleh dimulakan lebih awal dan tamat sebelum waktu yang ditetapkan.\nSatu dunia telah terkesan dengan pandemik COVID-19 dan Jepun semestinya tidak terkecuali. Pandemik ini telah memaksa kita untuk Bekerja dari Rumah (BDR) dan mengurangkan kontak dengan orang lain bagi mengelakkan penyebaran. Aishah berpendapat bahawa BDR adalah sukar dan beliau lebih memilih untuk mengadakan perbincangan berkaitan dengan kerja secara bersemuka. Akan tetapi, bagi Tahir yang bekerja sebagai pensyarah sambilan di beberapa universiti, BDR membolehkan beliau untuk berkomunikasi dengan mereka yang berjauhan dengan efektif dan dapat menjimatkan masa. Pun begitu, beliau bersetuju bahawa suami isteri yang BDR dalam satu rumah boleh menimbulkan tekanan yang lebih tinggi berbanding di tempat kerja.\nRancangan tersebut diakhiri dengan persembahan khas oleh Tahir yang menyampaikan lagu Getaran Jiwa oleh Almarhum Tan Sri P. Ramlee." "Mendampingkan Karya Seni dengan Masyarakat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSimpang Empat \u2012 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, \u201cSeni tidak boleh lagi berada dalam ruang lingkup atau kelompoknya sendiri, sebaliknya seni visual atau apa-apa juga genre seni dan budaya ini harus turun kepada masyarakat.\u201d\nAktivis kini tidak harus mengasingkan diri dengan berkarya di dalam studio, galeri atau di premis yang tertutup sahaja tetapi turunlah mendampingi masyarakat atau komuniti setempat, berkarya sambil melakukan aktiviti kemasyarakatan.\nDemikian titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin ketika berkenan berangkat merasmikan Program Seni Bersama Komuniti: Rural Art Experience Negeri Perlis Tahun 2020 \u20122021 yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Balai Seni Negara serta Persatuan Pelukis Negeri Perlis (PPNPs) di Nipah Klasik, Kampung Bunga Emas, Simpang Empat, semalam.\nProgram yang berlangsung selama dua hari tersebut dihadiri oleh 50 orang pelukis dari dalam dan luar Perlis dengan pelbagai aktiviti seni lukis dan gotong-royong diadakan bersama-sama penduduk setempat.\n\u201cProgram Seni dan Komuniti yang dilaksanakan seumpama ini merupakan inisiatif yang amat baik dan bertepatan dengan slogan \u2018Seni untuk Masyarakat\u2019,\u201d titah DYTM Raja Muda Perlis yang turut berkenan merasmikan Telaga Puteri Bunga Emas dan juga melawat pameran lukisan yang disediakan.\nKarya seni tidak boleh selama-lamanya sekadar dipamerkan di galeri yang gah dan terasing. Akan tetapi, pelukis dan karya wajar dibawa dan dipamerkan kepada masyarakat dalam ruang yang lebih terbuka dan mudah untuk didekati.\nDalam pada itu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin mengharapkan suatu masa nanti Perlis bukan sahaja terkenal sebagai hab kepada ekopelangcongan, agropelancongan serta pelancongan sukan, malah hasil karya seni yang tercipta pada dinding, di lorong, di luar dan dalam premis serta yang sedia terpamer di galeri akan menyemarakkan dan mempercepat lagi usaha bagi menjadikan negeri ini hab kepada pelancongan seni.\nBaginda turut berharap dan yakin, melalui inisiatif yang digerakkan oleh semua pihak ke arah menjadikan landskap negeri Perlis indah dan berwajah baharu akan berjaya menarik lebih banyak pelancong dan meningkatkan ekonomi negeri dan rakyatnya." "Pameran Realiti Maya dan Realiti Terimbuh: Inisiatif Melestarikan Tradisi Budaya Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mengambil inisiatif untuk mengadakan Pameran Realiti Maya dan Realiti Terimbuh Rumah Melayu Tradisional berinspirasikan petua membina rumah sebagai satu inisiatif untuk mempersembahkan tradisi Melayu terutama kepada generasi baharu. Majlis perasmian pameran tersebut telah berlangsung pada 30 November 2021, pukul 11.00 pagi di Aras 10, Menara PNM.\n\nKetua Pengarah PPNM, Puan Salasiah binti Abdul Wahab dalam ucapan alu-aluannya mengatakan bahawa Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 1983. Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu merupakan satu daripada tiga pusat kebangsaan yang ditubuhkan di PNM bagi menjalankan 17 fungsinya yang antaranya mencakupi pemeliharaan warisan intelektual negara, pembudayaan amalan membaca dan penyemarakan bahasa Melayu.\nMenurut Puan Salasiah, \u201cPusat Kebangsaan Manuskrip Melayu telah menjalankan pelbagai program dan aktiviti merangkumi aktiviti mengesan, memperoleh dan mempromosikan manuskrip Melayu kepada masyarakat.\u201d\nJelas beliau lagi, \u201cPerpustakaan Negara Malaysia amat mengalu-alukan kedatangan orang awam, para penyelidik dan pengkaji yang mahu menggali serta meneroka khazanah manuskrip Melayu sama ada untuk rujukan mahupun penyelidikan.\u201c\nMelalui pameran ini, Perpustakaan Negara Malaysia menampilkan pelbagai manuskrip Melayu yang berkaitan dengan rumah Melayu termasuk petua, ilmu perubatan dan lain-lain yang amat wajar dilestarikan khususnya untuk generasi akan datang.\nMenurut Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Wira Dr. Noor Zari Hamat, \u201cEra digitalisasi perlu dimanfaatkan untuk memperkasakan sistem penyampaian maklumat agensi yang berkaitan supaya dapat dicapai oleh segenap rakyat Malaysia.\u201c\n\u00a0\nInisiaitf Pameran Realiti Maya dan Realiti Terimbuh Rumah Melayu Tradisional yang dibangunkan oleh Pusat Kebangsaan Manuskrip Negara merupakan satu usaha terkehadapan bagi menyokong keperluan siber rakyat khususnya Generasi Z supaya mereka lebih celik budaya, iaitu mengenali, memahami dan menghayati aspirasi seni dan warisan budaya tradisional Melayu.\nTambah beliau lagi, \u201cKita berada pada zaman revolusi teknologi baharu yang sinonim dengan teknologi seperti kecerdasan buatan dan dataraya termasuk teknologi realiti maya dan realiti terimbuh. Pengalaman realiti maya perlu diambil dan diterokai sepenuhnya supaya kita tidak akan ketinggalan.\u201d\nBeliau menjelaskan bahawa seni bina rumah Melayu yang unik terbentuk daripada beberapa ruang asas yang terdiri daripada serambi, anjung, bilik, dapur dan sebagainya. Setiap ruang ini pula mempunyai fungsi tersendiri untuk kegunaan peribadi mahupun kegunaan keluarga.\nIlmu yang terkandung dalam seni bina ini ialah warisan berharga nenek moyang kita yang sangat menarik untuk terus dikaji serta diwacanakan.\nSeni bina Melayu sesungguhnya tidak dapat dipisahkan dengan tamadun bangsa Melayu dan perkembangan tamadun itu sendiri. Sebagaimana kita sedia maklum, bangsa Melayu sangat kaya dengan kepelbagaian ranah ilmu bangsa Melayu yang seterusnya diterjemahkan secara artistik dalam pelbagai bidang antaranya senibina rumah Melayu. Pameran digital ini bukan sekadar mahu menunjukkan seni bina rumah tradisional Melayu tetapi juga mahu menonjolkan kandungan naskhah manuskrip yang merakam pelbagai ilmu dan petua di sebalik pembinaan sesebuah rumah.\nMajlis ini juga boleh ditonton kembali menerusi PNM TV Channel melalui pautan ini." "Mengasihi Warga Tua, Budaya Orang Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPopulasi warga tua semakin meningkat bukan sahaja di seluruh dunia bahkan juga di Malaysia seiring dengan kecanggihan dan kepesatan teknologi kemudahan kesihatan yang ditawarkan. Walaupun jangka hayat mereka semakin bertambah, warga emas selalunya mengalami penurunan keupayaan daya fizikal seperti pergerakan, pendengaran dan penglihatan selain mudah terdedah kepada penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung. Hal ini menyebabkan mereka memerlukan sokongan sosial daripada individu lain terutamanya darah daging mereka sendiri dalam usaha meneruskan kelangsungan hidup mereka hari demi hari.\n\nNamun begitu, situasi pada hari ini yang menuntut masyarakat bekerja keras dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi keluarga menyebabkan berlakunya pengabaian terhadap warga tua oleh anak mereka. Pada hakikatnya, kedudukan warga tua adalah tinggi dalam budaya Melayu.\nJabatan Kebajikan Malaysia (JKM), Dasar Warga Tua Negara (DWTN) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mentakrifkan warga tua sebagai mereka yang telah meningkat usia dan berumur 60 tahun ke atas. Dari perspektif Islam pula, warga emas merujuk kronologi kehidupan manusia yang bermula daripada bayi, kanak-kanak, dewasa dan tua.\nMalaysia merupakan antara negara yang masih berpegang pada konsep ketaatan kepada orang tua dan nilai budaya timur, justeru anak-anaklah yang bertanggungjawab untuk menjaga orang tua baik dari segi adat mahupun agama sepertimana tulisan Roziah Omar dalam bukunya yang bertajuk Kesihatan dan Gaya Hidup: Isu-isu Semasa Kesihatan Masyarakat.\nBukan itu sahaja, masyarakat Malaysia yang dikenali sebagai masyarakat yang penuh dengan adat dan sopan-santun memandang tinggi dan menghormati sesiapa pun yang lebih berusia daripada mereka sehinggakan individu yang melanggar aturan tersebut dianggap melakukan kesalahan besar yang boleh merosakkan diri dan nama baik keluarga.\nDalam budaya Melayu, terdapat nilai kesopanan terhadap orang yang lebih tua khususnya dalam kalangan saudara-mara. Antaranya adalah seperti menunduk ketika berjalan di hadapan orang tua tanda menghormati dan memuliakan; bertutur kata dengan bahasa yang halus dan merendahkan nada suara; meminta izin sebelum keluar ke mana-mana; dan mencium tangan orang yang lebih tua ketika bersalaman.\nOrang Melayu juga sangat menjaga tutur bahasanya dengan orang yang lebih berusia. Hal ini boleh dilihat melalui sistem gelaran yang diguna pakai oleh orang Melayu dalam kalangan adik-beradik seperti along, angah, abang, kakak dan sebagainya. Sistem gelaran disebutkan sebagai tanda orang yang lebih muda menghormati golongan yang lebih tua daripada mereka.\nWalau bagaimanapun, beberapa faktor dilihat telah menyebabkan anak pada masa kini berhadapan dengan kesukaran untuk menunaikan tanggungjawab menjaga orang tua mereka sehingga berlakunya pengabaian dan penderaan. Antara faktor tersebut ialah struktur keluarga luas semakin beransur pupus disebabkan proses penghijrahan anak-anak muda ke kawasan bandar, jarak geografi dan ketiadaan keluarga asas yang tinggal berdekatan dengan warga tua, golongan wanita yang turut sama menggalas peranan mencari rezeki yang menyebabkan orang tua mereka terpaksa mengambil alih tanggungjawab menjaga dan memelihara cucu mereka, peningkatan jangka hayat hidup manusia, dan perubahan sosial dalam komuniti kita pada hari ini.\nUndang-undang yang terpakai secara amnya bagi kes penderaan warga tua di Malaysia adalah sama seperti dalam kes keganasan rumah tangga yang melibatkan isteri atau suami, iaitu Kanun Keseksaan dan Akta Keganasan Rumahtangga 1994 (Akta 521).\nHal ini membawa maksud secara asasnya, warga tua di Malaysia sememangnya dilindungi oleh undang-undang daripada didera oleh individu lain termasuk ahli keluarga sendiri. Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 telah mendefinisikan orang dewasa tidak berkeupayaan sebagai seseorang yang pada keseluruhannya atau sebahagian nyata tidak berkeupayaan atau lemah oleh sebab kehilangupayaan fizikal atau mental atau tidak sihat atau usia tua yang tinggal sebagai seorang anggota keluarga pesalah. Definisi ini jelas menunjukkan bahawa sekiranya seorang warga tua tinggal sebagai anggota keluarga, maka ia dikategorikan sebagai orang dewasa yang tidak berkeupayaan dan mereka dilindungi di bawah akta tersebut. Pengabaian dan penderaan terhadap mereka membolehkan individu yang mendera mereka didakwa di mahkamah.\nDr. Noran Naqiah Hairi bersama Dr. Clare Choo dalam kajian mereka, \u201cPrevent Elder Abuse and Neglect Initiative\u201d menyatakan bahawa 9.6 peratus daripada 291 responden yang berusia lebih daripada 60 tahun mengalami lebih daripada satu bentuk penderaan.\u00a0 Hasil kajian mereka juga mendapati bahawa penderaan yang paling biasa atau umum juga merupakan penderaan psikologi berikutan masalah kewangan yang dihadapi oleh penjaga mereka.\nAnak-anak perlu dididik sejak kecil agar menghormati dan menyayangi kedua-dua orang tua mereka. Jika tidak dipantau dan dibiarkan berlarutan, masalah pengabaian warga tua akan lebih membarah dalam masyarakat kerana soal kebajikan keluarga tidak lagi dipedulikan.\nPengabaian dan penderaan terhadap warga tua ini merupakan perkara yang memalukan di Malaysia kerana negara ini berpegang pada nilai norma yang menghormati dan menyanjung tinggi ahli masyarakat yang lebih tua. Undang-undang yang lebih spesifik perlu dikuatkuasakan bagi melindungi warga tua daripada menjadi mangsa pengabaian dan penderaan anak dan menantu mereka.\nBersama-samalah kita berusaha untuk membela nasib warga tua di Malaysia yang sering dipandang umpama kain buruk yang tiada nilainya. Hal ini dikatakan demikian kerana tanpa yang tua, manakan ada kita yang muda pada hari ini." "Ayat Tanya dalam Penulisan Karangan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nBolehkah ayat tanya digunakan dalam penulisan karangan? Apakah syaratnya?\n\u00a0\nDaripada:\nYusuf Samah,\nSibu." "Tarikh 3 Disember Diisytiharkan sebagai Hari Batik Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan 3 Disember pada setiap tahun sebagai Hari Batik Malaysia dalam ucapan khas yang disiarkan melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) di saluran TV1, malam semalam.\nPada majlis perisytiharan tersebut, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri memaklumkan, pemilihan tarikh 3 Disember dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada Jumaat lalu sebagai tanda penghargaan atas sumbangan, sokongan dan minat dalam kraf batik yang ditonjolkan oleh isteri kepada Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Tun Abdullah Badawi, iaitu Allahyarhamah Tun Endon Mahmood.\nMenerusi ucapan tersebut, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) atas usaha yang jitu dalam menjayakan hari bersejarah ini.\nSaya berasa amat gembira menyaksikan usaha MOTAC melalui kraf tangan Malaysia dalam membangunkan industri kraf batik negara agar terus mampan dan berdaya saing dalam mendepani ekonomi global.\nTambahnya lagi, sehubungan dengan pengisytiharan ini, kerajaan telah menetapkan hari Khamis sebagai hari pemakaian baju batik bagi semua penjawat awam, swasta dan juga Keluarga Malaysia termasuk ahli parlimen.\n\nTonton perisytiharan Hari Batik Malaysia menerusi pautan ini." "Malaysia Art Ecosystem Festival Bermula Hari Ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Malaysia Art Ecosystem Festival (MAEF) merupakan program yang julung-julung kalinya diadakan oleh Balai Seni Negara, bermula pada 3 hingga 5 Disember 2021. Festival yang berlangsung di World Trade Center Kuala Lumpur ini mengumpulkan para penggiat seni yang berkecimpung dalam ekosistem seni visual negara.\nMenurut Pegawai Penerangan Balai Seni Negara, Encik Safwan Hamsi, MAEF memfokuskan pameran karya, produk dan perkhidmatan yang disediakan oleh pemain seni untuk diperkenalkan kepada khalayak.\nTambah beliau, \u201cKita ingin memperlihatkan kesatuan dalam ekosistem seni yang bukan sahaja terdiri daripada pelukis dan galeri seni visual, bahkan institusi pendidikan yang melahirkan penggiat seni, serta penyedia perkhidmatan yang berkaitan dengan seni.\u201d\nBalai Seni Negara memperkenalkan istilah usahawan seni bagi mengajak penggiat seni ini supaya bergerak secara keusahawanan.\nMAEF juga bakal menyajikan kepada para pengunjung beberapa program, antaranya perkongsian usahawan seni mengenai pengalaman dan cabaran mereka dalam mendepani pascapandemik COVID-19." "Batik Malaysia: Warisan Sepanjang Zaman\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada 1 Disember 2021 yang lalu, menerusi Berita Perdana TV1 yang disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri Malaysia, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan tarikh 3 Disember pada setiap tahun sebagai Hari Batik Malaysia.\n\nDalam ucapan pengisytiharan tersebut, beliau berkata, \u201cMesyuarat Jemaah Menteri pada 26 November 2021 yang lalu, bersetuju untuk memasyhurkan satu tarikh dalam bulan Disember sebagai Hari Batik Malaysia. Pemilihan tarikh tersebut adalah sebagai penghargaan atas segala sokongan dan usaha yang telah disumbangkan oleh Allahyarhamah Tun Datin Paduka Seri Endon Mahmood, iaitu isteri kepada mantan Perdana Menteri yang kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.\u201d\nPada 3 Disember 2003, Allahyarhamah telah memulakan sebuah gerakan Malaysia Batik \u2212 Crafted for the World, untuk membawa batik tempatan ke arena antarabangsa.\nBatik secara umumnya dikenali sebagai seni menghias corak kain dengan motif hiasan dan bahan pewarna khusus. Seni batik ini dihasilkan dengan menggunakan teknik mencorakkan tekstil melalui proses penerapan lilin dan pencelupan benang. Teknik penghasilan batik ini pada dasarnya telah diketahui selama lebih dari seribu tahun dan telah menjadi sebahagian daripada budaya dunia terutama di Nusantara, malah merangkumi Negara-negara Asia Tenggara.\nSeni batik berbeza-beza mengikut negara dan budaya di sesuatu kawasan. Di Malaysia, batik Malaysia dikenali sebagai satu bidang kraftangan tradisional yang terkenal dan digemari oleh segenap lapisan masyarakat.\nMenelusuri sejarah batik Malaysia yang penuh keunikan yang tersendiri, motif batik di Malaysia banyak dipengaruhi oleh alam sekitar seperti flora dan fauna. Motif ini terhasil daripada kepekaan dan pemerhatian masyarakat tradisional terhadap alam di sekeliling mereka. Kebanyakan daripada penggiat seni batik ini mempercayai bahawa apa-apa sahaja yang menarik mengandungi falsafah yang tersendiri, justeru boleh dijadikan sebagai corak batik. Di samping itu, batik juga menjadi lambang penghargaan manusia kepada alam serta menjadi usaha untuk menerapkan unsur alam dalam kehidupan.\nDi negara ini juga, batik digunakan secara meluas bukan sahaja sebagai pakaian harian, kain sarung atau pakaian majlis keramaian dan majlis formal, malah ada yang menggunakan batik sebagai alas meja, sarung cadar dan bantal, selendang dan lain-lain untuk kegunaan harian. Bukan itu sahaja, batik turut digemari oleh pelancong asing malah dijadikan sebagai buah tangan untuk dibawa pulang ke negara masing-masing kerana nilai keseniannya yang unik dan menarik.\nPada masa kini, terdapat banyak corak baharu batik yang digelar sebagai batik moden bagi memenuhi cita rasa manusia yang bertukar-tukar mengikut arus perubahan semasa. Pun begitu, batik tradisional masih kekal relevan dan tetap diminati sepanjang zaman.\nPada hakikatnya, batik ialah lambang identiti bangsa Melayu yang sememangnya perlu dibanggakan dan diraikan sepanjang masa merentasi zaman. Di Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) banyak memainkan peranan dalam menjaga warisan kesenian negara yang tidak ternilai ini. Hingga kini, MOTAC menjalankan usaha melalui kraf tangan Malaysia bagi membangunkan industri kraf batik negara agar terus mampan dan berdaya saing dalam mendepani cabaran ekonomi global, sehinggalah membawa kepada perisytiharan tanggal 3 Disember sebagai Hari Batik Malaysia.\nPengisytiharan tersebut membawa harapan kerajaan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mengamalkan pemakaian serta menghidupkan batik Malaysia. Usaha ini bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia apabila semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum bersatu hati dalam menggayakan keunikan dan keindahan melalui pemakaian batik tempatan.\nSaya percaya, pengisytiharan Hari Batik Malaysia akan dapat menjadi pemangkin kepada pemerkasaan industri kraf batik tempatan dan rantaian pengeluaran industri batik negara.\u201d\n\u2013 YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob." "KKKM 2021 Jayakan Sambutan Hari Batik Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) buat pertama kalinya mengadakan sambutan Hari Batik Malaysia bersempena dengan Program Komuniti Kraf Keluarga Malaysia (KKKM) 2021 yang berlangsung dari 1 hingga 6 Disember 2021, mulai jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.\n\nMajlis pada hari ini dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Santhara J.P.; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Yang Berbahagia Datuk Wira Dr. Noor Zari Hamat; Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia, Puan Hajah Rubiah Haji Wang; dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kraftangan Malaysia, Puan Aididah Ibrahim.\nHari Batik Malaysia telah diisytiharkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia pada 1 Disember 2021 lalu dan akan disambut pada 3 Disember setiap tahun oleh seluruh Keluarga Malaysia. Pemilihan tarikh ini adalah sebagai penghargaan atas segala sokongan dan usaha yang disumbangkan oleh Allahyarhamah Tun Datin Paduka Seri Endon Mahmood, iaitu isteri kepada Perdana Menteri Malaysia yang kelima. Pada 3 Disember 2003, Allahyarhamah telah memulakan sebuah Gerakan Malaysian Batik \u2013 Crafted for the World untuk membawa batik tempatan ke arena antarabangsa.\nPengisytiharan ini pastinya memberikan manfaat khususnya kepada usahawan dan komuniti kraf batik. Usaha ini juga bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia apabila pada hari ini dapat dilihat semua rakyat Malaysia berbilang kaum bersatu hati dalam menggayakan keunikan dan keindahan produk kraf tekstil batik.\nKomuniti kraf tekstil batik yang kini ada di seluruh negeri merupakan antara usaha MOTAC menerusi Kraftangan Malaysia di bawah inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA). Menerusi Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran, hal yang demikian berjaya membantu komuniti kraf batik dalam meningkatkan kemahiran dalam penghasilan dan pengeluaran serta pemasaran produk kraf.\nSebanyak 534 komuniti kraf batik telah dibangunkan melalui Program Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK), manakala di bawah Program Pembangunan Perantisan Kemahiran (PPPK), sebanyak 15 orang usahawan kraf batik telah mendapat manfaat dengan penempatan tenaga kerja baharu melalui program latihan sambil bekerja yang melibatkan 40 orang peserta. Terdapat sebanyak 8015 produk yang telah dihasilkan oleh komuniti kraf melalui PPKK dan akan dipasarkan oleh anak syarikat Karyaneka sepanjang Eksposisi Komuniti Kraf.\nPelbagai usaha dan inisiatif telah diambil oleh Kraftangan Malaysia dalam membantu meningkatkan kualiti hidup, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana semula ekonomi usahawan dan komuniti kraf batik. Hal ini dapat disaksikan melalui peranan MOTAC dan Kraftangan Malaysia yang tidak jemu-jemu membantu usahawan dan komuniti kraf batik dalam menghasilkan serta mengeluarkan produk batik yang setanding dengan produk keluaran antarabangsa." "Sajian Popular di Negeri Hang Tuah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDi Malaysia, siapakah yang tidak mengenali nama besar seperti Tun Perak dan Hang Tuah lima bersaudara?\nMelaka, Negeri Bersejarah \u2012 di negeri inilah lahirnya nama besar tersebut. Negeri ini juga memiliki peranan bersejarah melalui kegemilangan zaman kesultanannya yang begitu berpengaruh di rantau Nusantara dan Asia Tenggara sepanjang abad ke-14 dan ke-15 suatu ketika dahulu.\nMelaka cukup terkenal dengan adat dan budayanya malah memperlihatkan keindahan hubungan kemasyarakatan penduduknya yang terdiri daripada orang Melayu, Cina, India, Baba dan Nyonya, Serani dan Chitty.\nBandaraya Melaka merupakan contoh bandar yang mempunyai kepelbagaian kebudayaan, warisan serta tradisi Asia dan pengaruh Eropah. Maka itu, pada tahun 2008, Melaka diisytiharkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Bandar Warisan Dunia.\nSelain kaya dengan sejarah, warisan dan kebudayaan, Melaka juga tidak terkecuali daripada menjadi persinggahan pencinta makanan kerana santapan di negeri ini tidak kurang hebatnya dalam membangkitkan selera pengunjung.\nYang berikut merupakan antara hidangan popular yang wajib dirasai oleh pengunjung apabila datang ke Melaka.\n \nMelaka begitu sinonim dengan masakan asam pedas. Hidangannya cukup sempurna dengan rempah ratus yang digunakan serta keasliannya. Pada kebiasaannya, hidangan asam pedas bukan sahaja disajikan untuk keluarga di rumah malah terdapat di restoran, kedai makan dan juga di hotel yang terkemuka di negeri ini.\nSebut sahaja Melaka, pengunjung cukup dekat dengan hasil lautnya yang segar. Oleh hal yang demikian, apabila datang ke Melaka, para pengunjung boleh mencuba sajian ikan bakar. Antara hidangan ikan bakar serta hasil laut yang terkenal di Melaka terletak di kawasan Ayer Molek. Selain terkenal dengan hasil lautnya yang segar, pengunjung juga berpeluang untuk memilih sendiri ikan, sotong, udang dan macam-macam lagi hasil laut mengikut pilihan mereka sendiri. Makanan yang disediakan sangat memenuhi cita rasa, ditambah dengan kesegaran serta kemanisan rasa hasil laut tersebut sehingga menaikkan lagi selera. Harga yang ditawarkan juga sangat berpatutan dan perkhidmatan yang diberikan kepada para pengunjung amat baik.\nDi Melaka, terdapat kawasan yang memberikan pengalaman buat pengunjung untuk merasai cendol yang berbeza daripada cendol biasa yang ada di tempat lain. Antara cendol yang istimewa di negeri ini terletak di kawasan Kampung Hulu, bersebelahan dengan Sungai Melaka, yang menyajikan berbagai-bagai jenis cendol. Antara menu yang wajib dicuba oleh para pengunjung ialah cendol mangga. Menu cendol yang disajikan adalah lain daripada yang lain kerana menggunakan aiskrim kelapa sebagai tarikan buat pelanggan." "Menelusuri Ekosistem Seni Negeri Sembilan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSeni merupakan satu abstrak yang sangat luas dan sukar ditakrifkan dan dinilai. Hal ini termasuklah penciptaan imej atau objek dalam lapangan bidang seperti seni lukis, seni arca, pembuatan percetakan, fotografi dan media visual serta audio yang lain. Selain menjadi luahan kreativiti manusia, seni juga melambangkan adat dan budaya di sesetengah tempat.\n\nSeperti di Negeri Sembilan, terdapat beberapa kelainan dalam perkembangan seni di negeri yang memiliki adat Perpatih dan Temenggung itu berbanding dengan negeri lain. Dalam menjejaki warisan seni di negara ini, seniman Malaysia dengan kerjasama Balai Seni Negara telah melakukan pemetaan seni visual di seluruh negeri di Malaysia berlandaskan ekosistem seni sedia ada.\nPemetaan seni ini turut mengenal pasti karya awam, lorong seni, persatuan, komuniti dan kolektif seni, galeri, studio dan kediaman di seluruh negara. Selain itu, pemetaan ini juga bertujuan mengenal pasti keberadaan perkhidmatan operasi dan pengurusan seni yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pelantar seni visual negara.\nHingga 30 November 2021, sebanyak 34 ekosistem seni di Negeri Sembilan telah dikenal pasti yang terdiri daripada 13 karya awam, lapan lorong seni, satu persatuan dan komuniti, lapan galeri studio serta empat ekosistem seni lain.\nBagi ekosistem seni karya awam, ekosistem ini merupakan karya seni arca, tugu, replika, monumen dan juga instalasi awam. Antaranya ialah mercu tanda kapal layar yang terletak di bulatan Batu 6, Kampung Teluk Kemang. Mercu tanda ini melambangkan aktiviti sukan pantai di sekitar Port Dickson yang telah dibina oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).\nSelain itu, terdapat juga beberapa seni arca awam lain di sekitar daerah Jelebu seperti replika tengkolok di Muzium Jelebu, mercu tanda tipografi Jelebu serta replika tangan dan buah-buahan yang melambangkan adat menyambut dan mengalu-alukan tetamu. Di samping itu, terdapat juga replika pokok di AEON Nilai dan mercu tanda tipografi Kuala Klawang serta beberapa mercu tanda lain seperti arca pintu gerbang yang terdapat di Muzium Seri Menanti, Negeri Sembilan.\nSelain karya awam, lorong seni merupakan jejak seni kedua tertinggi di Negeri Sembilan. Lorong seni merupakan lukisan dinding termasuklah mural dan grafiti. Antara lorong seni yang paling popular di Negeri Sembilan ialah lorong seni yang terletak di Jalan Dato Sheikh Ahmad, Bandar Seremban apabila terdapat lebih daripada 30 lukisan mural dengan pelbagai cerita tempatan dan teknik lukisan dinding.\nLorong Seni Seremban sepanjang 250 meter ini memaparkan pelbagai lukisan mural bertemakan sejarah Malaysia dan Negeri Sembilan khususnya. Namun begitu, lorong tersebut kini dalam proses naik taraf dengan kemudahan awam untuk keselesaan pengunjung bagi menjadikan ia sebagai tempat tarikan pelancong.\nBagi persatuan, komuniti dan kolektif pula, mereka merupakan sekumpulan penggiat seni yang menjalankan program dan aktiviti bersama kumpulan sasaran. Terdapat Persatuan Pelukis Negeri Sembilan yang aktif menghasilkan lukisan dan pameran. Mereka telah menjalankan pameran seni di Galeri Istana Seri Menanti pada Januari lalu.\nSementara itu, satu-satunya kolektif yang terdapat di Negeri Sembilan buat masa ini merupakan Rats Seremban. Kolektif ini ditubuhkan pada tahun 2019 dan bermula sebagai komuniti papan selaju yang kemudiannya berkembang menjadi komuniti grafiti disebabkan oleh penglibatan pelukis grafiti dalam kolektif ini.\nRats Seremban mempunyai 10 orang ahli utama yang terdiri daripada empat orang pelukis grafiti dan enam orang ahli papan selaju. Mereka aktif dalam memenuhi ruang awam dan lorong-lorong seni dengan lakaran grafiti yang menarik dan bertemakan budaya Negeri Sembilan di sekitar Seremban, Port Dickson dan Lembah Klang.\nKolektif ini bercita-cita untuk mewujudkan budaya jalanan yang sihat dengan mengangkat seni grafiti supaya diterima masyarakat sebagai satu seni dan bukannya budaya vandalisme, seterusnya melahirkan komuniti belia yang aktif dan kreatif kerana dengan penubuhan komuniti seperti ini dapat mengelakkan aktiviti yang tidak sihat dalam kalangan golongan belia.\nMereka percaya bahawa lukisan mural dan grafiti boleh menjana dan mencantikkan semula ruangan atau lorong yang terabai bahkan dapat dijadikan kawasan tarikan pelancong. Komuniti ini mahu meluaskan seni mereka ke daerah lain selain Seremban dan Port Dickson.\nDi samping itu, terdapat juga beberapa Galeri Studio di Negeri Sembilan. Galeri Studio merupakan satu ruang awam dan persendirian yang menjalankan aktiviti dan program seni bersama kumpulan sasaran. Antaranya ialah Studio Chincarok yang dimiliki oleh seniman Sharon Chin. Studio ini terletak di Lot 1699, Jalan Toh Kee Kah, Port Dickson. Studio ini telah mula beroperasi pada tahun 2018 dan merupakan ruang penghasilan karya beliau yang banyak dipamerkan di peringkat tempatan dan juga antarabangsa.\nSelain lukisan, beliau juga mahir dalam seni cetakan. Lebih menarik lagi, Sharon menggunakan bahan terpakai seperti sudu, kotak jus dan susu untuk menghasilkan seni cetakan di studio beliau.\nSeterusnya, galeri yang paling popular di Negeri Sembilan ialah Galeri Istana Lama Seri Menanti. Galeri ini merupakan ruang seni yang berada di Istana Diraja Seri Menanti. Istana yang dibina pada tahun 1902 ini merupakan sebuah istana lama dengan keunikan binaan yang tidak menggunakan sebarang paku dalam pembinaannya.\nIstana Seri Menanti memiliki ciri seni bina Minangkabau yang unik, berketinggian 65 kaki dan mempunyai 99 tiang kayu. Kerawang dengan pelbagai motif bunga juga menjadikan istana ini sebagai sebuah istana lama yang istimewa dengan sejarah seni bina Melayu. Galeri yang ditempatkan di ruang istana lama ini juga mempamerkan bahan peninggalan sejarah seperti senjata api, pakaian serta dokumen adat dan tradisi berkaitan diraja dan adat perpatih.\nEkosistem yang lain pula ialah perkhidmatan pengurusan seni, kedai peralatan seni, universiti dan sekolah seni, servis lelongan karya seni dan lain-lain. Satu daripada perkhidmatan pengurusan seni yang terdapat di Negeri Sembilan ialah Syarikat Studio Art Eden Enterprise yang dimiliki oleh Mohd Fairuz Paisan yang juga merupakan seorang pengkarya dan usahawan seni.\nStudio Art Eden ini telah mula beroperasi pada tahun 2004 dan menyediakan pelbagai perkhidmatan seni termasuklah servis pemasangan karya seni, perkhidmatan ubah suai galeri seni, penghasilan prop latar belakang untuk pementasan teater dan pementasan persembahan konsert, perkhidmatan catan mural dinding dan arca awam, konsep hiasan dalaman dan juga servis rundingan seni.\nEncik Fairuz yang juga dikenali sebagai Po\u2019oi telah menghasilkan karya seni di seluruh dunia. Antara karya seni yang telah dihasilkan oleh beliau ialah projek mural dan menyepuh emas di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada tahun 2004, projek mural kapal persiaran di Hamburg Germany pada tahun 2005 dan 2006, serta banyak lagi projek antarabangsa yang lain.\nHal ini jelas menunjukkan bahawa karya seniman Malaysia diiktiraf dan diangkat di peringkat dunia. Maka itu, kita hendaklah bersama-sama menyokong dan memartabatkan warisan seni di Malaysia dengan menghargai dan mengiktiraf karya seniman tempatan." "Perkasakan Strategi dalam Menjadikan Perlis Destinasi Ekopelancongan Terbaik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2012 \u201cDalam usaha menjadikan Perlis destinasi ekopelancongan yang terbaik, beberapa strategi wajar dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Antaranya, penduduk setempat perlu dididik tentang kepentingan warisan alam semula jadi dan pengurusan pemuliharaan dalam melindungi alam sekitar,\u201d demikian titah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat meninjau Gua Bukit Ngulang tengah hari semalam.\nKeberangkatan baginda diiringi oleh Pengerusi Kelab Sukarelawan Pelancongan Negeri Perlis, Encik Zulkifli Md Jusoh dan Pengusaha Riverview Homestay, Encik Mohd Azrif Md Amin.\nDalam titah DYTM Raja Muda Perlis juga, baginda menekankan strategi lain yang boleh dimanfaatkan, iaitu dengan meningkatkan kesedaran terhadap penduduk tempatan, menyediakan hospitaliti dan kemudahan terbaik, pengurusan acara yang lengkap, serta memperkenalkan rangkaian maklumat untuk pelancong dan pengunjung.\nPada masa yang sama, teknologi terkini hendaklah dipergiatkan dengan cara mempromosikan ekopelancongan menerusi media sosial kerana ramai yang mencari rujukan melalui sumber dalam talian seperti laman web, blog, vlog dan ulasan secara langsung oleh personaliti terkenal yang menjadikan sesuatu destinasi itu tular.\nTambah DYTM Tuanku Syed Faizuddin, \u201cPelancongan lestari perlu diwujudkan, antaranya termasuklah melalui pemuliharaan terhadap spesies terancam yang diperketat bagi menjadikan kawasan tersebut dikenali di negara lain dan sebagai subjek perundangan pemuliharaan alam.\u201d\nTerdahulu daripada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyantuni tiga buah rumah asnaf terpilih milik Encik Rasmadi Hassan, Encik Marzuki Yeem dan Puan Siti Rabedah Ismail dalam kariah Santan Baroh bagi menyerahkan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM700 setiap seorang, Kit MAIPs Peduli dan beras fidyah dalam Program MAIPs Peduli Khas COVID-19.\nDalam pada itu, baginda turut berkenan merasmikan projek peningkatan sosioekonomi asnaf MAIPs berupa sumbangan peralatan dapur tiga tungku untuk perniagaan warung makanan yang diusahakan oleh Encik Zulkufli Mohamad di Batu 3 1/2, Jalan Santan Padang Pauh." "Tradisi Kraf Orang Asli Mahmeri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDi Malaysia, terdapat kira-kira 140 ribu orang Asli yang dibahagikan kepada tiga etnik utama, iaitu Semang, Senoi dan Melayu Proto. Suku kaum Mahmeri dalam kumpulan Senoi ialah masyarakat orang Asli yang telah lama bertapak di Pulau Carey, Selangor.\nMasyarakat Mahmeri dikenali sebagai orang hutan. Mereka juga disebut sebagai orang pesisir dan ada juga yang menggelar mereka sebagai orang laut. Namun begitu, menurut Dr. Samsur Rijal Yahaya yang merupakan Pensyarah Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya dalam kajiannya tentang orang laut, masyarakat Mahmeri tidak boleh dipanggil sebagai orang laut kerana tidak cukup kategori atau ciri-ciri orang laut. Orang laut mempunyai sembilan ciri khusus dan antara ciri orang laut tersebut ialah kebolehan mereka menyelam antara lima hingga 13 minit.\nMasyarakat orang Asli Mahmeri kini melalui proses perubahan yang merupakan satu revolusi kehidupan. Revolusi pada kali ini tertumpu pada penghasilan serta pengeluaran produk kraf yang bernilai tinggi dan merupakan nilai komersial yang menjadi daya tarikan utama pelancong dalam dan luar negara. Pengekalan motif rekaan Mahmeri berupaya menonjolkan keunikan dan mempamerkan nilai estetika yang tersendiri.\nUmum mengetahui masyarakat orang Asli khususnya Mahmeri sememangnya sentiasa menghargai alam sekeliling mereka. Pokok-pokok tidak boleh ditebang sewenang-wenangnya. Menurut kepercayaan masyarakat Mahmeri, pokok tidak akan ditebang jika ada helang berkeliaran di kawasan tersebut kerana hal yang demikian memberikan petanda yang tidak baik buat si penebang.\nKraf ukiran kayu berbentuk topeng dan patung merupakan antara penghasilan karya kreatif terkenal oleh orang Asli Mahmeri Pulau Carey dan lazimnya digunakan sebagai perhiasan. Antara yang menarik perhatian ialah ukiran patung harimau berantai yang merupakan satu daripada ukiran arwah Pak Pion, orang Asli Mahmeri yang mendapat pengiktirafan antarabangsa, kemudian seni ukiran ini diteruskan hingga hari ini.\nKerja mengukir bukanlah kerja yang mudah kerana memerlukan kebolehan dan kemahiran seseorang tukang; melibatkan banyak proses; serta memerlukan persiapan yang rapi. Pada kebiasaanya, kayu nyirih batu digunakan bagi sesebuah kraf ukiran kayu kerana uratnya yang halus, merah dan berat. Proses menyiapkan sesebuah ukiran kayu mengambil masa beberapa hari berdasarkan saiz dan kerumitan sesebuah ukiran.\nKini, kraf ukiran kayu telah mendapat sentuhan baharu melalui rekaan produk pelancongan dan pelbagai guna seperti penanda buku, magnet peti ais dan rantai kunci dengan saiz yang lebih kecil di samping mengekalkan motif kesenian itu sendiri.\nSelain itu, anyaman mengkuang juga merupakan kraf warisan yang dihasilkan oleh orang Asli Mahmeri. Dahulunya, kraf tangan berasaskan anyaman mengkuang ini digunakan sebagai perhiasan untuk pengantin, tangkai pemegang serta digunakan untuk perayaan menuai padi bagi orang zaman dahulu. Uniknya, produk anyaman mengkuang yang dahulunya berbentuk perhiasan diri seperti hiasan kepala dan rantai kini telah diubahsuai menjadi produk baharu, antaranya menerusi penghasilan produk anting-anting, penanda buku, rantai kunci dengan rekaan motif serta penggunaan warna yang menarik. Teknik pewarnaan moden juga telah digunakan menggantikan teknik terdahulu yang menggunakan kunyit bagi menghasilkan warna asli. Produk ini terhasil hasil daripada imaginasi kreatif masyarakat Mahmeri.\nTerdapat beberapa pantang larang dalam menghasilkan sesuatu anyaman. Menurut Puan Maznah, usahawan kraf orang Asli Mahmeri, daun mengkuang tidak boleh dipotong semasa bulan mengambang serta hendaklah memastikan diri bersih terlebih dahulu, suci daripada sebarang kekotoran sebelum memulakan proses anyaman. Selain itu, anyaman hendaklah dilakukan pada waktu pagi dan malam sahaja kerana jika dilakukan pada waktu tengah hari, hasil anyaman tersebut kebiasaannya akan putus-putus dan tidak cantik.\nAktiviti menganyam ini juga berkait rapat dengan perasaan dan emosi seseorang. Bagi menghasilkan anyaman yang cantik, seseorang itu hendaklah berada dalam keadaan hati yang tenang dan gembira. Sesebuah hasil kraf anyaman perlu melalui proses anyaman seperti melayur, menjemur kemudian merebus sebelum terhasilnya sesebuah kraf yang cantik.\nHal ini jelas membuktikan bahawa tidak mudah untuk menghasilkan sesebuah kraf yang penuh identiti dan keunikan ini, malah memerlukan pengalaman dan kemahiran khusus dalam berkarya serta banyak cabaran yang perlu diatasi bagi penghasilan sesebuah karya kreatif.\nPada akhirnya, revolusi telah mengubah kehidupan masyarakat orang Asli Mahmeri secara total dan holistik yang secara langsung telah mengubah cara hidup dan ideologi pemikiran mereka serta memberikan impak yang besar terhadap sosioekonomi komuniti kraf orang Asli Mahmeri.\nKarya kraf warisan orang Asli Mahmeri yang dahulunya tidak komersial kini telah mula dijual secara dalam talian, iaitu di MyCraftShoppe dan E-Kraf Bazar serta berjaya dikomersialkan sehingga peringkat antarabangsa seperti di Thailand, Paris, London dan lain-lain.\nUsaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan orang Asli Mahmeri perlu diteruskan bagi menghasilkan banyak lagi produk kesenian serta melahirkan pelapis generasi baharu untuk mengekalkan warisan budaya masyarakat orang Asli Mahmeri." "Usaha Kraftangan Malaysia Rancakkan Industri Kraf Tempatan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2012 Inisiatif Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang menganjurkan program Komuniti Kraf Keluarga Malaysia (KKKM) bermula pada 1 Disember 2021 lalu dan berakhir pada hari ini merancakkan industri kraf negara pascapandemik COVID-19.\n\nPelaksanaan KKKM 2021 antara lain bertujuan untuk membolehkan industri kraf tempatan kembali bangkit dan melonjakkan semula industri melalui strategi yang lebih mantap selepas melalui fasa sukar akibat penularan pandemik COVID-19 di negara ini.\nMenurut Kraftangan Malaysia, \u201cKonsep penganjuran KKKM 2021 berdasarkan aspirasi kerajaan menerusi tiga teras utama Keluarga Malaysia, iaitu untuk bekerja secara bersama-sama dalam memulihkan negara daripada masalah dan kesan pandemik COVID-19.\u201d\nTiga teras tersebut ialah keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.\nSepanjang enam hari pelaksanaan KKKM di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay, pelbagai pengisian menarik telah dijalankan, antaranya Demonstrasi Pembuatan Produk Kraf Komuniti, Jualan Produk Komuniti, Seminar Kraf, Pameran MyCraftShoppe dan Webinar Antarabangsa.\nKKKM 2021 mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung dan menerima penyertaan sebanyak lebih daripada 300 usahawan dan komuniti kraf." "MAEF 2021 Membantu Penggiat Industri Seni Tanah Air\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0Festival Ekosistem Seni Malaysia (MAEF) 2021 anjuran Balai Seni Negara (BSN) bertujuan menghidupkan, menyokong dan membantu penggiat industri seni tanah air ke arah pemulihan ekonomi akibat COVID-19. Program di bawah Bitara Seni Tenggara yang berorientasikan kelestarian ekosistem seni ini cuba memberikan semula harapan kepada industri seni visual negara.\nBerlangsung pada 3 sehingga 5 Disember 2021 lalu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), MAEF 2021 merupakan program utama berorientasikan kelestarian ekosistem seni yang bertumpu pada pameran karya, produk dan perkhidmatan yang disediakan oleh pemain industri seni untuk diperkenalkan kepada khalayak.\nMAEF 2021 memperlihat kesatuan ekosistem industri seni negara yang bukan hanya melibatkan pelukis dan galeri seni sahaja, tetapi didokong oleh pelbagai pihak yang turut menggerakkan industri ini, termasuk institusi pendidikan (sekolah seni), penyedia perkhidmatan seperti pembekal peralatan, rumah lelongan, penganjur acara, pembingkaian, pembungkusan, penghantaran, kurator, konservasi karya, rekaan dan penerbitan, serta perkhidmatan seni lain.\nTerdapat juga aktiviti seperti bicara seni ekosistem, seni digital, dan\u00a0metaverse, bicara seni bakat mahasiswa, bicara seni digitalisasi seni, dan bicara seni perjalanan seni mural, serta aktiviti senaman bersama-sama peserta oleh Alam Wakaka, demonstrasi seni karikatur Malaysia oleh Tazidi/Pauh/Rumah Kartun, bengkel mewarna arca oleh Nuriman Amri Abd. Manap, demonstrasi seni pensil oleh Uneh, pertunjukan fesyen oleh peserta\u00a0Young Art Enterprenuer\u00a0(YAE), dan \u201cBedah Buku Jejak Artis\u201d oleh Dr. Issarezal. Ada juga persembahan muzikal Rebana\u00a0Busking, gurindam Orkes Keroncong Arif Lukisan (OKAL), dan persembahan nyanyian oleh selebriti tanah air seperti Marsha Milan Londoh, Dafi, dan Idris Brown.\nSehubungan ini, Ketua Pengarah BSN, Amerrudin Ahmad berharap penganjuran MAEF 2021 mendapat sokongan berterusan daripada penggiat seni, serta seluruh masyarakat bagi melengkapkan gelung ekosistem, dan fasiliti seni visual Malaysia dalam mewujudkan ramai rakan strategi, pelapis dan pengiktirafan seni kearifan tempatan yang diwacanakan pada peringkat nasional.\nPara pempamer yang menyertai MAEF 2021 dibahagikan kepada empat kategori, iaitu pendidikan (institusi pendidikan yang menawarkan kursus kesenian secara khusus, dan universiti awam/universiti swasta), penggiat/usahawan seni (penggiat seni dan budaya, termasuk dalam bidang perkhidmatan mural, graffiti commissioning dan yang mengeluarkan produk), muzium/galeri (galeri seni yang terdiri daripada organisasi kerajaan, dan swasta), dan penyedia perkhidmatan seni (memperkenalkan syarikat yang menawarkan produk atau perkhidmatan berkaitan seni).\nKategori pendidikan diwakili enam buah institusi pendidikan termasuk Universiti Pendidikan Sultan Idris. Penggiat/usahawan seni pula dengan 16 buah termasuk Persatuan Kakiseni, dan YAE!; muzium/galeri diwakili 22 buah termasuk Galeri Shah Alam; dan penyedia perkhidmatan seni dengan 13 buah termasuk Art Market Malaysia.\nMajlis perasmian MAEF 2021 disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Dato\u2019 Tom Abang Saufi, yang mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri.\n\nDalam ucapan Dato\u2019 Tom, beliau memberitahu bahawa aktiviti pelancongan seni dan budaya negara mencatatkan pulangan pelaburan sebanyak RM585.4 juta pada tahun 2019, serta merupakan antara agenda yang terkandung dalam Rancangan Malaysia ke-12, dan Dasar Kebudayaan Negara. Justeru, beliau berharap penglibatan dan hasil MAEF 2021 dapat memberikan impak positif dalam sinergi pelancongan negara.\nBeliau turut mengumumkan pemberian sumbangan kepada para penggiat seni visual yang terlibat dengan MAEF 2021, iaitu insentif kewangan berjumlah RM3000 setiap seorang untuk memulih, dan merancakkan semula kegiatan kesenian masing-masing.\nIni merupakan sebahagian daripada pelan pemulihan ekonomi dan kemakmuran bersama untuk para penggiat seni visual, dan wajar disokong oleh semua pihak agar hasilnya dapat dinikmati." "Bahasa Melayu Sama seperti Bahasa Rusia, Diberi kepada Bangsa yang Agung\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDekad Bahasa Kebangsaan yang sedang dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka bukanlah untuk acara-acara yang digembar-gemburkan tetapi untuk merenungi keadaan dan nasib bahasa.\nAda gagasan \u201cMaju Negara Maju Bahasa\u201d. Memang begitu. Negara maju ada lebih banyak peluang untuk mengembangkan bahasa dan menyebarkannya di seluruh dunia. Kemajuan bahasa Inggeris kebanyakannya akibat\u00a0 hebatnya kekuasaan politik dan ekonomi Amerika. Dengan pengaruhnya dalam bidang politik dan ekonomi yang secara automatik terjadi semakin kuatnya pengaruh bahasa Inggeris.\nNamun begitu, ada proses di sebalik \u201cMaju Bahasa Maju Negara\u201d kerana kemajuan dalam bahasa pada gilirannya mendorong kekuatan sebuah negara. Bahasa kebangsaan misalnya mempersatukan rakyat sebuah negara, mencegah perpecahan dan dengan cara begitu menguatkan dasar kekuatan negara.\nGagasan \u201cMaju Negara Maju Bahasa\u201d (atau \u201cMaju Bahasa Maju Negara\u201d) tepat dalam konteks Malaysia juga. Negara ini negara berbilang bangsa. Oleh itu, bahasa mempersatukan semua kaum dan menggalakkan persefahaman antara mereka. Perkembangan bahasa juga melestarikan budaya tradisional yang penting untuk wujudnya keperibadian sebuah bangsa. Pembawa budaya itu biasanya orang kampung, jadi penting membantu orang itu. Contoh yang nyata ialah Jepun, iaitu kerajaan menunjang penanaman padinya sendiri meskipun dari segi ekonomi itu merugikan dan lebih murah mengimport beras dari luar negara.\nOleh itu, timbul soalan. Apakah langkah yang harus diambil bagi memajukan bahasa Melayu agar setanding dengan bahasa lain di dunia, terutamanya bahasa Inggeris? Pertama-tama, teladan mesti diberikan oleh semua kakitangan kerajaan termasuklah para menteri yang harus menggunakan bahasa Melayu pada semua peringkat. Bukankah hal itu sudah beberapa kali diutarakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri\u00a0Muhyiddin Yassin?\nPada tahun 1977, Perdana Menteri Papua New Guinea, Somare, menggunakan bahasa kebangsaannya, iaitu tok pisin selama lawatannya ke Jepun dengan dua terjemahan, iaitu daripada tok pisin kepada bahasa Inggeris dan daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Jepun. Tentu sahaja beliau tahu berbahasa Inggeris tetapi tetap mahu menunjukkan keperibadian bahasanya. Contoh yang patut diteladani!\nLagi pula bahasa Melayu mempunyai keunggulannya sendiri. Kekuatan bahasa Melayu terletak pada statusnya sebagai bahasa kebangsaan dan dalam faktor-faktor sejarah sehingga bahasa itu menjadi lingua franca di kawasan Asia Tenggara dahulu. Kekuatan bahasa itu juga disebabkan oleh banyaknya karya klasik yang ditulis dalam bahasa itu.\nPerkembangan sastera sememangnya boleh menunjang perkembangan bahasa, bahkan \u201cmenyelamatkan\u201d bahasa. Sejarah Rusia misalnya menunjukkan mengenai sasteranya yang menyelamatkan bahasa Rusia yang pada mulanya daripada kongkongan bahasa Jerman (abad ke-18) dan kemudian daripada kongkongan bahasa Perancis (abad ke-19). Para penulis Rusia tetap berkarya dalam bahasa Rusia dengan mengembangkannya. Sehingga kini rakyat Rusia bercakap dalam bahasa sastera yang diciptakan pada abad ke-19 oleh pujangga Alexander Pushkin. Saya yakin sasterawan Melayu juga boleh memberikan sumbangan besar dalam memperkembangkan bahasa kebangsaan.\nDasar bahasa di Malaysia mesti lebih konsisten dan ketat. Mesti dibuat begitu supaya dengan mempelajari bahasa Melayu dapat menjadikannya berfaedah dan berprestij. Patut juga memberikan nilai ekonomi kepada bahasa Melayu, yakni menggunakan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan hingga peringkat tertinggi dengan menerbitkan lebih banyak artikel ilmiah dalam bahasa itu. Secara langsung menjadikan bahasa itu bahasa perantaraan dalam syarikat nasional dan cawangan syarikat antarabangsa di Malaysia dan menggunakannya dalam rundingan semua peringkat. Kalau begitu, lebih banyak orang akan didorong untuk mempelajarinya.\nPenulis Rusia, Ivan Turgenev (1818-1883) pernah berkata tentang bahasa Rusia: \u201cPada hari-hari yang penuh kebimbangan, pada hari-hari yang penuh renungan berat tentang nasib tanah airku maka engkaulah, bahasa Rusia yang agung, perkasa, jujur dan bebas merupakan satu-satunya sokongan dan dukungan bagiku! Kalau bukan kewujudan engkau, aku pasti putus asa melihat segala yang terjadi di tanah airku. Tidak mungkin tidak percaya bahawa bahasa agung seperti itu diberi kepada bangsa yang agung juga!\u201d\nSaya fikir nukilan itu benar terhadap bahasa Melayu juga: \u201cTidak mungkin tidak percaya bahawa bahasa agung seperti itu diberi kepada bangsa yang agung juga!\u201d" "Tiga Hari Menuju Malam Anugerah FFM 31\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan mengadakan Malam Anugerah Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM 31) pada Jumaat, 10 Disember 2021, bertempat di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre.\n\nMalam Anugerah FFM 31 ini akan berlangsung pada pukul 8.00 \u2013 11.00 malam dan bertemakan \u201cCitra Sinema\u201c. Tema ini mengetengahkan sinema Malaysia dan inspirasi kecemerlangan global serta transformasi industri perfileman era 1950-an hingga kini. Anugerah ini juga akan bersiaran secara langsung dan boleh disaksikan di YouTube FINAS Malaysia.\nAnugerah FFM 31 ini merupakan acara tahunan bertaraf nasional yang bertujuan untuk mengiktiraf kecemerlangan industri perfileman dan karyawan tempatan. Anugerah ini juga dilaksanakan bagi memperkasakan jaringan strategik domestik dan antarabangsa selain membudayakan semangat mencintai filem tempatan.\nSebanyak 28 kategori anugerah dipertandingkan pada malam tersebut. Antaranya ialah Anugerah Filem Terbaik, Anugerah Lakon Layar Terbaik, Anugerah Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Penyunting Terbaik dan Anugerah Penataan Bunyi Terbaik.\nDalam pada itu, beberapa program sisipan telah diaturkan oleh FINAS sebelum menuju malam anugerah berbentuk tayangan umum, sesi apresiasi serta soal jawab bersama-sama pengarah filem selepas tayangan. Antara filem yang ditayangkan ialah Wira, Suraya dan\u00c2\u00a0Dendam Kesuma. Tiket masuk bagi program sisipan anjuran FINAS ini adalah percuma dan penonton boleh mendapatkan pas masuk di pawagan.\nDi samping itu, FINAS turut menganjurkan webinar sebagai medium perkongsian umum mengenai dunia perfileman domestik dan antarabangsa seperti yang berikut." "Asia Traditional Orchestra: Usaha Sama Kebudayaan Negara dengan Republik Korea\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Istana Budaya telah menganjurkan konsert mini Asia Traditional Orchestra (ATO) di Lambang Sari, Istana Budaya, semalam.\nMajlis tersebut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato\u2019 Sri Dr. Santhara J.P.\u00a0 bersama-sama Duta Besar Republik Korea di Malaysia, TYT Lee Chi Beom.\nMenerusi hantaran di Facebook, MOTAC memaklumkan, \u201cATO merupakan program kerjasama kebudayaan bidang muzik antara negara ASEAN dengan Republik Korea.\u201c\n\u201cPenganjuran persembahan muzikal ini merupakan usaha pihak MOTAC bagi memperkukuh kerjasama strategik serta meningkatkan hubungan dua hala dalam bidang kebudayaan antara Malaysia dengan Republik Korea,\u201c tambah MOTAC.\nHal ini selaras dengan Perjanjian Persefahaman (MoU) Kebudayaan yang telah ditandatangani oleh kedua-dua buah negara pada tahun 2020.\nKonsert mini ini dipersembahkan oleh Orkestra Tradisional Malaysia." "Konsep Melayu Islam Mendasari Persembahan Takziah Malam Sepuluh\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Persembahan Takziah Malam Sepuluh telah diadakan di Panggung Eksperimen Universiti Malaya (UM) pada Jumaat, 10 Disember 2021 dan dibawa secara langsung melalui laman YouTube serta Facebook Fakulti Seni Kreatif, UM. Persembahan yang dibawa khas oleh Fakulti Seni Kreatif, UM dengan sokongan Yayasan Hasanah, ArtsFas dan Yayasan TM ini menampilkan pelajar drama serta Pengarah fakulti itu sendiri, iaitu Dr. Rosdeen Suboh selain Taiyuddin Bakar, Zack Kool, Sani Sudin, Asmidar dan Yusmar sebagai pelakon.\n\nPersembahan ini menceritakan tentang kesedihan Nabi Muhammad SAW apabila mendengar perkhabaran kematian cucunya, Saidina Husain yang dinukilkan oleh seorang pencerita yang mendengar daripada riwayat Ummu Salamah. Saidina Husin merupakan putera Saidina Ali dan Saidatina Fatimah dan cucu Nabi Muhammad SAW yang mempunyai akhlak dan fizikal yang hampir sama dengan Baginda.\nUmum mengetahui Saidina Husain dan Saidina Hassan ialah kedua-dua cucu yang paling disayangi Nabi Muhammad SAW ketika mereka masih kecil, Nabi Muhammad diberitakan tentang perkhabaran kematian Saidina Husain oleh Malaikat Jibril a.s. yang membuat Baginda serta ahli keluarga dan para sahabat sangat sedih. Berita tersebut menjadi kenyataan beberapa dekad kemudian iaitu pada hari Jumaat 10 Muharram 61 Hijriyyah apabila Husain bin Ali syahid di tangan musuh yang zalim.\nWalau bagaimanapun, demi menjaga kesempurnaan dan kesucian Islam, watak-watak tersebut tidak dilakonkan.\nBagi memastikan cerita ini dapat disampaikan dengan baik dan penuh penghayatan kepada penonton, pementasan ini menggunakan gabungan konsep pencerita, teater jalanan serta muzikal pentas dan didasari oleh teori seni persembahan Islam, iaitu mewujudkan keindahan.\nTeori ini bertujuan untuk mendapatkan ketenangan supaya proses pendekatan diri kepada Allah dan penghayatan dalam amalan menjadi lebih baik. Elemen Islamik dalam lirik, dialog, tarian, nyanyian dan lakonan termasuk gerak dan aksi bertujuan untuk memberikan moral dan kebaikan kepada ahli produksi dan penonton manakala elemen persembahan seperti penglibatan penonton dalam pementasan turut diterapkan sebagai nilai kreativiti dan artistik persembahan tradisional di Asia Tenggara.\nSelain konsep pementasan, konsep Melayu Islam juga memainkan peranan dalam persembahan Takziah Malam Sepuluh. Rekaan pentas persembahan ini diilhamkan daripada \u201cMonumen Alor Star 250 Tahun\u201d yang menerapkan kedua-dua elemen Melayu dan Islam.\nPentas yang berbentuk segi empat diletakkan keris di setiap satu sisi sebagai tunjang utama dan jika dilihat dari atas, kelihatan seperti satu pokok tunjuk langit di tengah-tengah sebuah peti kayu yang melambangkan batu nisan. Ini ialah falsafah mengingati mati yang dizahirkan pada seni bina rumah tradisional Melayu. Pentas ini juga kelihatan seperti reka bentuk geometri iaitu empat bucu dan satu titik pusat di tengah-tengah yang dapat ditafsirkan sebagai Rukun Islam yang dijunjung tinggi.\nBagi menggambarkan budaya Melayu Malaysia pula, kain batik yang menjadi simbol kesatuan digantung pada lapan batang buluh dan diletakkan di setiap sisi dan penjuru segi empat pentas tersebut." "Tourism Selangor Sertai KLPF 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2012 Pameran fotografi tahunan yang dinanti-nantikan khususnya oleh penggemar fotografi menerusi Kuala Lumpur Photography Festival (KLPF) 2021 yang diadakan bermula 10 hingga 13 Disember 2021 di Viva Shopping Mall pada tahun ini menyaksikan penyertaan agensi pelancongan, Tourism Selangor.\n\nMenerusi penglibatan Tourism Selangor dalam KLPF 2021, agensi ini sekali lagi menjalinkan kerjasama bersama-sama pihak penganjur, PCP Publication seperti pada tahun sebelumnya.\nSelain itu, pihak Tourism Selangor turut bekerjasama dengan pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), iaitu Majlis Perbandaran Kuala Langat bagi memperkenalkan produk pelancongan setempat kepada masyarakat tempatan serta jurugambar.\nMenurut Tourism Selangor, \u201cInisiatif ini merupakan satu daripada aktiviti promosi pelancongan domestik di Selangor di samping merancakkan kembali industri pelancongan dalam era kebiasaan baharu dan norma baharu sepanjang tahun 2021.\u201d\nKLPF 2021 kembali pada tahun ini secara fizikal dan juga secara dalam talian sebagai platform bagi pihak penganjur untuk memberikan peluang kepada para jurugambar profesional tempatan bagi mempromosikan destinasi pelancongan Selangor dalam kalangan jurugambar serta orang awam." "Signifikan Ngah Ibrahim terhadap Sejarah Kereta Api Tanah Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDi sebalik nama Taiping yang dibanggakan sebagai \u201cBandar Warisan\u201d yang berdiri megah di utara Darul Ridzuan, pasti banyak antara kita tidak mengetahui titik tolak bermulanya kewujudan sebuah bandar yang menjadi pusat pentadbiran Daerah Larut Matang selama ini. Taiping dalam bahasa Cina bermaksud aman damai atau kedamaian abadi, iaitu nama bersempena tamatnya Perang Larut.\nTaiping yang sangat terkenal dengan sejarah perusahaan perlombongan bijih timah dari perut buminya sekali gus memberikan impak kepada sejarah pembinaan jalan kereta api yang pertama di Tanah Melayu, iaitu dari Taiping ke Port Weld yang kini dikenali sebagai Kuala Sepetang \u2212 satu catatan sejarah penting yang merubah sosiobudaya dan sosiopolitik di Perak.\nPerusahaan bijih timah di Larut bermula apabila Che Long Jaafar Dato\u2019 Paduka Setia Long Abdul Latif secara tidak sengaja telah menjumpai satu lokasi yang kaya dengan bijih timah di Kelian Pauh (kini dikenali sebagai Taiping).\nKetika Che Long Jaafar sedang mandi, beliau terlihat air sungai berwarna hitam kerana mengandungi bijih timah dan lokasi penemuan tersebut telah menjadi tapak bangunan Penjara Taping kini.\nPada tahun 1848, Che Long Jaafar telah membawa tiga orang pekerja Cina dari Pulau Pinang untuk bekerja sebagai pelombong bijih timah di Larut. Pada masa tersebut, Che Long Jaafar mempunyai seekor gajah peliharaan yang digelar Si Larut. Si Larut digunakan sebagai alat pengangkutan untuk mengangkut bijih timah yang dilombong.\nPada suatu ketika, Si Larut telah terlepas ke hutan dan apabila berjaya ditangkap semula, Che Long Jaafar mendapati kaki gajah berkenaan telah disaluti dengan lumpur yang mengandungi bijih timah. Lokasi tersebut adalah di Kelian Baru dan kini dikenali sebagai Kamunting. Dengan jumpaan sebuah lagi lokasi yang kaya dengan bijih timah tersebut telah menjadikan Che Long Jaafar seorang jutawan.\nChe Long Jaafar telah berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai pemerintah Larut dan seterusnya meletakkan asas pentadbiran yang mantap kepada anaknya, Menteri Ngah Ibrahim. Setelah Che Long Jaafar meninggal dunia pada tahun 1857, Menteri Ngah Ibrahim telah memindahkan pusat pentadbiran Larut dari kota yang diasaskan oleh ayahandanya di Bukit Gantang ke kotanya sendiri yang terletak di Matang.\nMenteri Ngah Ibrahim telah menjadikan kota beliau di Matang tersebut sebagai rumah kediaman, pusat pentadbiran Larut, kubu pertahanan, gudang menyimpan bijih timah dan juga sebuah pusat perdagangan. Pendapat bulanannya dianggarkan antara $5000 hingga $6000 malah ada yang mengatakan jumlah pendapatnya sebanyak antara 186 ribu hingga $200 ribu. Menteri Ngah Ibrahim menerima hasil kutipan cukai bijih timah sebanyak $19.00 daripada setiap nilai satu bahara.\nMenteri Ngah Ibrahim dikenali oleh pegawai dan orang Eropah sebagai Raja Larut atau Menteri Larut. Menteri Ngah Ibrahim telah membina jalan raya menghubungkan Kuala Larut ke kawasan perlombongan dan cabangnya menghubungkan kota ke Bukit Gantang dengan ukuran panjang kira-kira 11.3 kilometer (km).\nPada masa sama, Menteri Ngah Ibrahim mempunyai pasukan keselamatan sendiri yang diketuai oleh Kapten T. C. S. Speedy. Winstedt dan Wilkinson pernah menggambarkan Menteri Ngah Ibrahim seperti:\nSeorang yang berwibawa; membina jalan, menubuhkan pasukan polis dan mentadbir negeri ala British.\nPada ketika itu, permintaan bijih timah sangat tinggi berikutan berlaku revolusi perindustrian di Benua Eropah. Bijih timah yang dieksport menerusi pelabuhan Pulau Pinang merupakan bijih timah yang terbaik dikenali sebagai \u201cStraits Tins\u201d. Perkembangan perindustrian papan timah dan perusahaan makanan dalam tin banyak bergantung pada bijih timah di tanah Melayu yang dieksport ke Britain dari pelabuhan Singapura.\nNamun demikian, berlaku kekacauan yang tercetus akibat persengketaan oleh pelombong-pelombong Cina, perebutan takhta dan persaingan kuasa antara pembesar negeri telah memberi peluang kepada pihak British untuk campurtangan di Larut melalui Perjanjian Pangkor yang termeterai pada 20 Januari 1874 antara Gabenor Negeri-Negeri Selat dan Raja Muda Abdullah di Selat Dinding.\nPerjanjian yang menjadi titik tolak kepada campur tangan rasmi Inggeris di Perak itu turut memberikan kesan kepada kedudukan Che Ngah Ibrahim atau Menteri Ngah Ibrahim sebagai pemerintah Larut.\nSehubungan dengan itu juga, James Wheeler Woodford Birch atau J.W.W. Birch telah dilantik sebagai Residen pertama di Perak, manakala Kapten T.C.S. Speedy dilantik sebagai Penolong Residen dan segala pentadbiran di Larut telah diserahkan sepenuhnya kepada beliau. Kapten T. C. S. Speedy telah merangka semula corak pentadbiran dengan teliti ke arah permodenan Larut dengan memperkenalkan sistem birokasi ala Barat.\nKapten T. C. S. Speedy membina jalan baharu dan membaiki semula jalan sedia ada seperti jalan dari Teluk Kertang ke Kelian Pauh dan ke Kota Bukit Gantang kerana jalan tersebut digunakan oleh gajah, kerbau, lembu serta kuda untuk membawa keluar bijih timah ke Pelabuhan Teluk Kertang dan keadaan jalan tersebut amat teruk serta berlumpur terutama ketika selepas hujan\u00a0 turun. Perkembangan pesat perusahaan bijih timah di Matang menyebabkan meningkatnya kapasiti penggunaan jalan raya.\nMenurut laporan Kapten T. C. S. Speedy, penggunaan kereta lembu di jalan dari Ujong Tembok ke Kelian Pauh dicatatkan sebanyak 2600 buah bagi setiap bulan antara Mei hingga Disember 1874. Kesesakan jalan raya telah membawa kepada cadangan untuk membina landasan keretapi dari Taiping ke kota pada tahun 1879.\nPada tahun 1879, cadangan untuk membina jalan kereta api ini telah disuarakan untuk menghubungkan Taiping ke Kota sahaja, namun pada 20 Februari 1880, pihak berkuasa Kerajaan British meluluskan membina jalan keretapi yang lebih jauh, iaitu dari Taiping ke pelabuhan Teluk Kertang (Wong Lin Kin 1914).\nPerbelanjaan bagi pembinaan landasan keretapi tersebut diperolehi daripada kutipan cukai kepada pengusaha lombong bijih timah. Cukai dikenakan sebanyak $2.00 bagi setiap $10.00 atau satu bahara bijih timah mulai 1 Mac 1880. Kutipan ini akan berubah mengikut nilai harga semasa.\nSejarah tercatat pada tahun 1882 apabila kerja pembinaan landasan keretapi telah dimulakan, iaitu sejauh 13 km dari Taiping ke Port Weld dan secara rasminya sistem pengangkutan ini telah bermula di bumi Tanah Melayu pada 1 Jun 1885.\nJika dilihat daripada sejarah kereta api Tanah Melayu, kereta api pertama ialah kereta api kayu Johor. Landasan kereta api yang diperbuat daripada kayu tersebut hanya digunakan untuk kereta api ringan (light railway) yang menghubungkan Johor Bahru ke Gunung Pulai.\nKerja pembinaannya bermula pada 21 Julai 1869 hingga tahun 1879, namun masih belum siap penuhnya dan pada akhirnya terbengkalai. Inisiatif pembinaan kereta api tersebut diambil oleh Maharaja Abu Bakar. Menteri Ngah Ibrahim pernah datang ke Johor mengadap Maharaja Abu Bakar bagi mempelajari selok-belok pentadbiran moden untuk dilaksanakan di Larut.\nBerdasarkan susur galur ini, dapat disimpulkan dengan jelas bahawa \u00a0sejarah pembinaan jalan kereta api di Malaysia khasnya dari Taiping ke Port Weld mempunyai hubung kait yang sangat rapat dengan Che Long Jaafar, seorang pemimpin Melayu di Larut.\nCetusan idea Inggeris untuk membina rangkaian pengangkutan yang lebih moden bagi menggantikan jalan raya sedia ada merupakan satu kesinambungan daripada perusahaan bijih timah yang diterajui oleh Menteri Ngah Ibrahim daripada ayahnya, Che Long Jaafar Dato\u2019 Paduka Setia Long Abdul Latif, iaitu orang yang pertama menjumpai bijih timah di Larut.\nPenglibatan Long Jaafar dan Menteri Ngah Ibrahim dalam perusahaan bijih timah di Larut mempunyai signifikan besar bukan sahaja kepada sejarah perlombongan bijih timah di Perak, bahkan memberikan cetusan gelombang ke arah pembinaan jalan raya yang lebih baik serta bermulanya sejarah pembinaan jalan keretapi. Hingga hari ini, keretapi telah menjadi sebahagian kaedah pengangkutan yang sangat penting di Malaysia. Sejarah pengangkutan di Perak terus berkembang dengan terbinanya Lapangan Terbang Tekah di Taiping. Lapangan Terbang Tekah dibina pada tahun 1926 oleh pihak British dan merupakan lapangan terbang yang pertama dibina di Tanah Melayu." "Langkawi Craft Musical Fest 2021 Ketengahkan Alat Muzik Tradisional Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2212 Perbadanan Kemajuan\u00a0Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), agensi dibawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menganjurkan program Langkawi Craft Musical Fest 2021. Festival yang berlangsung di Kompleks Kraf Langkawi, Teluk Yu Mukim Bohor, Pulau Langkawi dilaksanakan selama sembilan hari bermula pada 11 hingga 19 Disember 2021, dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam.\n\nProgram yang julung-julung kali diadakan di Kompleks Kraf Langkawi ini mengetengahkan alat muzik tradisional berkonsepkan alunan semula jadi yang juga merupakan produk kraf tempatan dalam kategori kraf hasil rimba, kraf logam dan aneka kraf yang lain.\nKeunikan penghasilan produk kraf ini secara tidak langsung memberikan keunikan dalam persembahan seni dan budaya warisan negara.\nMenurut Kraftangan Malaysia, \u201cTujuan utama penganjuran Langkawi Craft Musical Fest 2021 adalah bagi meneruskan usaha Aspirasi Keluarga Malaysia yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob.\u201d\nMengulas mengenai hasrat pelaksanaan festival ini, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kraftangan Malaysia, Puan Aididah Ibrahim berkata, \u201cKraftangan Malaysia berharap agar Langkawi Craft Musical Fest akan dikenali di peringkat antarabangsa setanding Rainforest World Music Festival pada masa akan datang.\u201d\nSelain pameran produk kraf tempatan, terdapat aktiviti lain yang disediakan oleh peganjur. Antaranya ialah jualan produk kraf, pertandingan fotografi, ekplorasi kraf dan persembahan pentas.\nProgram ini juga menghimpunkan sebanyak 51 usahawan kraf serta 15 kumpulan dan individu pemuzik dari seluruh Malaysia, antaranya alat muzik Serunai dari Kedah, Gambus dari Johor, Rebana dari Perak, Sompoton dari Sabah dan Sape dari Sarawak.\nDapatkan maklumat lanjut mengenai Langkawi Craft Musical Fest 2021 di Facebook Kraftangan Malaysia." "Tower Walk 100: Tarikan Baharu Menara KL\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2212 Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Yang Berhormat (YB) Dato\u2019 Sri Nancy Shukri merasmikan produk pelancongan baharu di Menara Kuala Lumpur (Menara KL), iaitu Tower Walk 100 dan sambutan ulang tahun jubli perak menara tersebut, semalam. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL, Puan Ainol Shaharina Sahar.\nTower Walk 100 merupakan tarikan terbaharu yang di Menara KL yang memberikan peluang kepada pengunjung untuk berjalan mengelilingi pusingan 360 darjah di atas pelantar menara tersebut.\u00a0 Terletak di tingkat T02 tiang menara, Tower Walk 100 telah dibuka kepada para pengunjung bermula pada 27 November 2021 yang lalu.\nTower Walk 100 menjadi tarikan pertama di Malaysia yang membolehkan pengunjung merasai pengalaman baharu dengan menikmati panorama pada ketinggian 100 kaki.\nPara pengunjung akan dilengkapkan dengan sistem keselamatan sebelum memulakan perjalanan di atas pelantar tersebut dan harga istimewa ditawarkan kepada warganegara Malaysia, iaitu RM35 (dewasa) dan RM25 (kanak-kanak).\nPada majlis perasmian tersebut, YB Dato\u2019 Sri Nancy berkata bahawa kehadiran para pengunjung merupakan cabaran besar yang perlu dihadapi dalam memulihkan ekonomi Malaysia khususnya dalam sektor pelancongan ketika negara masih dibelenggu COVID-19.\nWalau bagaimanapun, beliau yakin hal yang demikian dapat ditempuhi dengan baik menerusi agenda transformasi industri pelancongan, seni dan budaya yang telah dirancang, pembangunan sektor pelancongan secara lestari dan inklusif serta kesediaan mendepani sebarang situasi berteraskan norma baharu dan kebiasaan baharu.\nTambah beliau, \u201cKita perlu yakinkan orang ramai bahawa tempat kita selamat untuk dikunjungi.\u201d\nKementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut menasihati orang ramai untuk terus memainkan peranan dalam memastikan kawasan tumpuan pelancongan selamat dikunjungi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.\nPada majlis tersebut, YB Dato\u2019 Sri Nancy turut mengambil peluang merasai cabaran berada di laluan Tower Walk 100." "Tourism Malaysia Sekali Lagi Menangi Anugerah Organisasi Negara Terbaik 2021/2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJakarta \u2013 Tourism Malaysia melakar sejarah yang tersendiri apabila sekali lagi menerima anugerah berprestij National Organisation of the Year di Anugerah Kembara dan Pelancongan Indonesia (ITTA) ke-12 anjuran Yayasan ITTA semalam.\nAnugerah ini merupakan kejayaan kali kedua berturut-turut Tourism Malaysia selepas berjaya merangkul anugerah yang sama pada tahun lepas (2019/2020).\nProgram tahunan yang dianjurkan oleh yayasan ITTA ini bertujuan untuk memberikan pengiktirafan atas kejayaan dan kecemerlangan dalam industri pelancongan baik di luar mahupun dalam negara.\nAnugerah ini disampaikan oleh Pengasas Yayasan ITTA, Panca Rudolf Sarungu kepada Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Jakarta, Haryanty Abu Bakar di pejabat pelancongan luar negara di Jakarta.\nPengiktirafan dan kejayaan diberikan kepada Tourism Malaysia atas usaha aktif agensi ini dalam mempromosikan pelancongan dua hala antara Indonesia dengan Malaysia.\nKejayaan ini telah memberikan suntikan semangat untuk agensi ini bagi menggiatkan lagi promosi pelancongan Malaysia.\nAgensi ini menyasarkan lebih 200 orang pelancong Indonesia yang akan menyertai program Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi hingga awal Januari 2022 bersempena dengan cuti perayaan Krismas dan tahun baharu yang semakin hampir." "Songket sebagai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKeputusan pencalonan songket sebagai Senarai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan atau Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah diumumkan pada 15 Disember 2021 dalam 16th Session of the Intergovernmental Committee for the Safeguarding of Intangible Cultural Heritage yang telah dijalankan secara dalam talian dari Ibu Pejabat UNESCO di Paris, Perancis dari 13 hingga 18 Disember 2021.\nKepentingan pengiktirafan ini dapat dilihat dalam usaha untuk melindungi kepentingan warisan kebudayaan tidak ketara di Malaysia di samping mengukuhkan hubungan serta jaringan kerjasama dengan UNESCO dan Negara Anggota Konvensyen 2003 yang lain dalam hal-hal berkaitan dengan warisan kebudayaan tidak ketara di peringkat global.\nMelalui pengiktirafan UNESCO yang merupakan pengiktirafan tertinggi dunia ini juga, songket dapat diperkenalkan di peringkat antarabangsa dan komitmen Malaysia dalam melindungi warisan kebudayaan tidak ketara di negara ini dapat ditonjolkan. Hal ini juga dapat meningkatkan lagi kesedaran untuk melindungi kelestarian seni serta warisan turun-temurun pelbagai etnik dan kaum di Malaysia, termasuk pengamal seni dan warisan tersebut.\nSongket merupakan lembaran kain yang ditenun dengan benang emas, perak dan pelbagai warna lain dan digelar sebagai \u201cRatu Kain\u201d dalam tenunan Melayu. Perkataan \u201csongket\u201d berasal daripada teknik yang digunakan untuk menenun songket, iaitu \u201csungkit\u201d atau \u201cmenyungkit\u201d.\nPenggunaan benang emas menunjukkan nilai kain yang tinggi dan pemakainya dilihat mempunyai darjah kebesaran, kekayaan dan kekuasaan. Tidak hairanlah jika kain songket yang dianggap sebagai tekstil Melayu klasik yang mewah hanya digunakan oleh kerabat Diraja dan pembesar negara pada suatu zaman dahulu. Kini, songket telah dipakai oleh pelbagai lapisan masyarakat terutamanya dalam majlis adat istiadat, perkahwinan dan sambutan perayaan.\nPada asalnya, songket hanya dijadikan sebagai kain sarung, samping atau kerudung. Namun begitu, fungsinya kini telah dikomersialkan dan digunakan sebagai hiasan dalaman seperti langsir, alas meja, hiasan dinding. Malah, ada juga yang menggunakannya sebagai perhiasan diri seperti beg tangan dan kasut. Kecantikan dan ketinggian mutu songket terletak pada kesesuaian corak dan jenis kain yang digunakan. Songket yang merupakan seni budaya yang tersimpan pelbagai makna tersendiri boleh didapati di rantau Melayu Nusantara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Brunei. Perusahaan kain songket di Malaysia adalah boleh didapati di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Melaka dan Sarawak.\nKesimpulannya, pengiktirafan UNESCO kepada Songket dapat mengangkat nama Malaysia di mata dunia sebagai satu daripada negara yang mempunyai pelbagai khazanah warisan kebudayaan tidak ketara dan boleh menjadi satu lagi tarikan pelancong yang mampu membuka peluang ekonomi kepada negara melalui industri berkaitan.\nBukan itu sahaja, hal yang demikian juga merupakan satu bentuk pengiktirafan bagi para pengamalnya dalam memastikan warisan seni budaya ini kekal terpelihara. Pengiktirafan ini dapat memberikan galakan kepada generasi muda untuk berkecimpung dalam seni tenunan songket, sejajar dengan permintaan dan nilai pasaran yang tinggi bagi songket. Hal ini penting bagi memastikan Songket dapat diwariskan dan diperturunkan kepada generasi akan datang.\nKomuniti pengamal atau pengusaha songket juga akan terus didorong untuk membawa inovasi baharu terhadap reka bentuk dan motif tenunan songket dalam mempamerkan pemikiran, pandangan dunia identiti dan peradaban budaya bangsanya." "Pelancaran Kempen Miss SHOPhia Virtual Hunt 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Tourism Malaysia telah melancarkan kempen beli-belah dalam talian yang diberikan nama Miss SHOPhia. Kempen yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia ini merupakan usaha untuk mempromosikan aktiviti beli-belah di Malaysia melalui platform digital yang dibangunkan, iaitu Miss SHOPia.\n\nMiss SHOPhia Virtual Hunt 2021 ini merupakan usaha mengadaptasikan norma baharu dan kebiasaan baharu yang selari dengan keadaan semasa pandemik COVID-19 ini. Kempen ini\u00a0 berlangsung pada 18 Disember 2021 dengan menggunakan aplikasi Zoom dan disertai oleh 111 orang daripada dalam dan luar negara. Setiap kumpulan terdiri daripada empat orang peserta termasuk media dan juga orang awam.\nAntara aktiviti menarik yang dijalankan adalah dengan menyelesaikan teka-teki menggunakan petunjuk seperti makanan tradisi Malaysia, pusat lawatan pelancong seperti Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Langkawi, Kuching dan Pulau Pinang. Peserta juga berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM39 ribu tertakluk kepada terma dan syarat.\nKempen ini diakhiri dengan ucapan terima kasih oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia. Beliau juga berharap melalui aktiviti ini peserta dapat mengenali keistimewaan Malaysia dan juga keunikan serta kepelbagaian makanan di Malaysia dengan lebih dekat walaupun hanya melalui alam maya.\nSemoga program ini memberikan keterujaan kepada pelancong untuk melawat Malaysia melalui pembukaan Langkawi pada 15 November 2021 bagi program gelembung pelancongan,\u201d tambahnya lagi." "Jangan Biarkan Jati Diri Bahasa Melayu Tercalar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMELAKA \u2013 Bahasa Melayu merupakan bahasa yang indah dan sinonim dengan masyarakat Timur yang dikenali dengan adab sopan santun dan bertatatertib. Keindahan tutur kata dalam bahasa Melayu menyebabkan bahasa Melayu begitu dikagumi dan turut dipelajari oleh sebilangan penduduk di dunia ini. Namun begitu, belakangan ini keindahan bahasa Melayu semakin terhakis dan dicemari oleh penggunaan kata-kata cacian dan kejian yang menghakis nilai bahasa Melayu itu sendiri.\nPada hari ini, penggunaan media sosial untuk kemudahan pencapaian sesuatu maklumat juga menambahkan lagi penggunaan bahasa yang kurang sopan dan jelik secara meluas. Hal ini merupakan antara penyebab berlakunya kebobrokan bahasa Melayu. Kebobrokan bahasa Melayu bermaksud bahasa Melayu itu mengalami kemusnahan akibat kemerosotan dan pengabaian sehingga rosak ataupun tercemar.\nHal ini dikatakan berpunca daripada luahan rasa amarah, iaitu keinginan dan kehendak hati yang kuat lagi keras untuk melihat sesuatu kemahuan itu berlaku. Seterusnya, luahan rasa itu akan menyebabkan pelepasan tekanan jiwa yang berkaitan dengan ledakan emosi, iaitu pemikiran dan kelakuan yang dihimpit oleh kekuasaan bahasa lain yang begitu kuat sehingga tidak terkawal dan menghasilkan sesuatu yang boleh mempengaruhi bahasa Melayu.\n\u00a0\n\nSehubungan dengan itu, semua orang harus bekerjasama dan bersatu padu untuk mengembalikan semula keindahan bahasa Melayu dan mengikis penggunaan bahasa Melayu yang kurang elok dan tidak sopan ketika berkomunikasi dalam usaha untuk menyatupadukan rakyat pelbagai kaum supaya suasana yang harmoni dapat dibina. Kerjasama semua pihak amat penting jika kita ingin anak bangsa negara ini terus menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul dan dengan sebaik-baiknya.\n\u201cKebobrokan bahasa Melayu yang kini banyak mengalami kemerosotan ini disebabkan oleh nafsu kita sendiri atau daripada tekanan luar yang tiada kawalan sehingga kita terpaksa menerima sesuatu bahasa lain, iaitu pinjaman perkataan asing ke dalam bahasa Melayu. Kita kehilangan banyak kemahiran menggunakan bahasa Melayu dengan mudah dan cepat jika kita banyak menggunakan peminjaman kata daripada bahasa luar. Hal ini seterusnya akan menyebabkan bahasa Melayu terpinggir, seterusnya menyebabkan jati diri bahasa Melayu juga akan tercalar.\u201d\nDemikianlah penerangan oleh YBhg. Profesor Emeritus Dato\u2019 Dr.Teo Kok Seong, Felo Penyelidik Utama, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), selaku ahli panel menerusi studio siaran langsung Wacana Citra Bahasa berjudul \u201cKebobrokan Bahasa: Luahan Amarah atau Pelepasan Tekanan Jiwa?\u201d anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan dengan kerjasama Jemaah Nazir Negeri Melaka (JNNM) yang bersiaran pada pukul 9.30 pagi tadi." "Langkawi Craft Musical Fest 2021 Mendapat Sambutan Menggalakkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2013 Pada 11 Disember hingga 19 Disember 2021 yang lalu, telah berlangsung Langkawi Craft Musical Fest di Kompleks Kraf Langkawi, Teluk Yu, Langkawi. Program ini dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia dan Kraftangan Malaysia.\n\nPelbagai program telah disediakan, iaitu jualan produk kraf, demontrasi pembuatan alat muzik tradisional Malaysia iaitu gambus Johor, kompang, rebana Perak, angklung, serunai Kedah, gendang Kedah dan sompoton Sabah, permainan tradisional seperti congkak, gasing dan caplom, memanah berbusana Melayu, tarian mangunatip, demonstrasi pembuatan kraf batik teknik ikat dan celup, aktiviti tarikan pengunjung, pertandingan kompang berformasi, pertandingan mendendangkan lagu \u201cCintai Kraf Malaysia\u201c menggunakan alat muzik tradisional, pertandingan fotografi bertemakan kraf muzikal, pertandingan mencipta alat muzik dari alam semulajadi atau bahan terbuang, demontrasi masakan kuih tradisional, jualan masakan citarasa Negaraku, persembahan tarian tradisional, busking tradisional dan kontemporari, pembuatan kraf angklung dan serunai daripada daun kelapa dan sesi bicara.\nFestival ini bermula setiap hari pada jam 10.00 pagi dan tamat pada jam 6.00 petang, kecuali pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad yang ditamatkan pada jam 10.00 malam. Pada malam 11 dan 12 Disember 2021, telah diadakan konsert dan persembahan oleh kumpulan Sada Borneo dan caklempong Lantera Kesuma.\nSementara itu, pada 17 hingga 19 Disember 2021 pula telah diadakan persembahan oleh Razali Kulintangan dan Amir Percussion. Bagi menambahkan kemeriahan, festival ini juga mengadakan pementasan tradisional.\nPada 11 Disember 2021, telah diadakan persembahan wayang kulit oleh Kumpulan Sri Asun; 18 Disember 2021 telah dipentaskan pula persembahan Mek Mulong; dan pada malam penutup 19 Disember 2021, telah dipentaskan persembahan Jikey.\nProgram seumpama ini merupakan kesinambungan daripada usaha perlaksanaan bagi projek rintis gelembung pelancongan ke Pulau Langkawi dengan amalan pematuhan kepada prosedur operasi standard yang ditetapkan.\nObjektif utama festival muzikal kraf ini adalah untuk mengetengahkan alat-alat muzik tradisional yang juga merupakan produk kraf tempatan dalam kategori bidang kraf hasil rimba, kraf logam dan aneka kraf.\nMenurut penganjur, penganjuran program ini adalah bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap produk kraf tempatan sekali gus mempromosikan Kompleks Kraf Langkawi sebagai pusat lawatan setempat. Penganjuran festival ini merupakan manifestasi aspirasi Keluarga Malaysia di Pulau Legenda dengan berkonsepkan \u201cAlunan Semula Jadi\u201d.\nMajlis turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kraftangan Malaysia, Yang Berusaha Puan Aididah binti Ibrahim. Kemasukan ke festival ini adalah percuma.\nPeluang seumpama ini direbut oleh para penduduk Langkawi, rombongan dari pelbagai institusi dan pelancong yang berkunjung ke Pulau Langkawi bersempena dengan \u00a0musim cuti persekolahan." "Tauhu Makanan untuk Hantu?\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTahukah anda bahawa tauhu pernah dianggap sebagai makanan untuk hantu? Itulah satu legenda yang berkaitan dengan asal usulnya. Dicipta pada zaman Dinasti Han kira-kira 2000 tahun yang lalu, produk kacang soya ini dianggap sebagai makanan yang paling sesuai untuk orang yang sudah meninggal dunia kerana teksturnya yang lembut dan hantu dikatakan tidak mempunyai rahang yang kuat.\nJikalau melihat dari sudut sejarah, walaupun dianggap sebagai makanan yang hambar, tidak menarik, tawar, tidak rasa apa-apa oleh Barat, tauhu tetap merupakan satu daripada hidangan makanan yang menarik bagi penduduk negara kita. Jikalau disebut douhua, doufuhua, tow huay atau tau hua, mungkin ramai yang tidak tahu sebenarnya merupakan nama lain bagi sejenis makanan, iaitu taufu fa,\u00a0yang semestinya sangat enak dan menyelerakan.\nHidangan ini dikatakan mula dihasilkan pada zaman Dinasti Wang Barat dan sejak itu resepinya diubah suai mengikut cita rasa masyarakat semasa. Di Malaysia, taufu fa kebiasaannya dinikmati dengan air gula yang manis, namun di China, ada yang menikmatinya bersama-sama minyak cili, kicap, lada, kacang atau nasi.\nTaufu fah diperbuat daripada susu soya tawar. Juadah ini kaya dengan asid lemak asas, protein, vitamin dan mineral yang memberikan tenaga kepada tubuh badan. Bagi wanita, hidangan ini dapat mengurangkan gejala menopaus, risiko serangan jantung, diabetes dan obesiti. Malah, taufu fa juga dikatakan dapat meningkatkan penyerapan kalsium yang berupaya mencegah kehilangan jisim tulang yang menjadi penyebab kepada penyakit osteoporosis.\nDalam hal ini, bagaimanakah berlakunya lonjakan jelmaan tauhu dari timur laut China ke dunia Barat ? Terima kasih banyak kepada Li Yuying, atau dikenali dengan nama kehormatannya Li Shizeng, yang dihantar ke Perancis oleh pihak Dinasti Qing untuk mencuri rahsia ketenteraan pada awal tahun 1900-an. \u00a0Sebagai seorang perisik kerajaan pada masa itu, Li melakukan tindakan yang tidak sepatutnya.\nSeperti yang berlaku dalam semua kisah pengintipan, beliau telah terpikat dan jatuh cinta terhadap \u201csesuatu\u201c. Yang menariknya, beliau bukannya terpikat dengan seseorang, tetapi dengan negara Perancis dan kacang soya. Setelah berhenti daripada sekolah ketenteraan Perancis, Li kemudiannya belajar di Institut Pasteur di Paris, di mana dia melakukan penyelidikan mendalam mengenai semua hal kicap kedelai.\nKemudian, dia mengasaskan Usine de la Cas\u00e9o-Soja\u00efne, atau Tofu Manufacturing Co.\u00a0 di luar Paris. Syarikat ini menjadi pengeluar tauhu \u00a0pertama di Eropah. Dia juga menjadi seorang anarkis dan vegetarian yang menggunakan syarikatnya untuk menyediakan pekerjaan kepada pelajar dari China untuk membantu menampung pelajaran ketika mereka belajar di Paris.\nWalau bagaimanapun, visi masa hadapan Li Yuying \u00a0untuk menjayakan sebuah kilang pengeluar kicap kedelai akhirnya tidak kesampaian kerana tidak\u00a0 memahami diet masyarakat Perancis dan Tofu Manufacturing Co. ditutup setelah beberapa dekad.\nNamun begitu, penyelidikan dan usahanya dalam memperkenalkan dunia kepada produk kacang soya menyumbang kepada status tauhu sekarang sebagai makanan utama antarabangsa. Makanan ini yang tidak hanya diraikan sebagai pengisi atau bahan perasa, tetapi sesuatu dengan rasa unik dan perisa sendiri." "Teater Muzikal Sudirmania Meraikan Nama dan Tragedi Seniman Agung\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Setelah enam kali ditangguhkan pementasan akibat pandemik COVID-19, Teater Muzikal Sudirmania 2020 menemui khalayak dengan gerbang dan persembahan gahnya pada 16 hingga 19 Disember 2021 yang lalu.\nMalam hujung minggu di Auditorium Tuanku Abdul Rahman, Matic Jalan Ampang dirasakan seperti malam tahun 80-an, seakan berjalan di hari-hari hebahan konsert gergasi Sudirman di Jalan Chow Kit pada tahun 1986.\nAnjuran utama oleh Parallact 08, pementasan ini juga hasil kerjasama besar bersama MaTIC, CENDANA, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan Revolution Stage, sebuah rumah pementasan teater kelolaan Khairunazwan Rodzy.\nPeranan Khairunazwan Rodzy sebagai pengarah dan penulis, meronakan takah luar biasa dalam persembahan para pelakon dan penari, penggiat sinografi, pemain muzik, dan jiwa pementasan itu sendiri.\nBeliau juga kini sudah berdiri di platorm pengarah buat kali ketiga bagi pementasan Teater Muzikal Sudirmania. Skrip asli ini juga adalah tulisan dan garapan Khairunnazwan sendiri yang memberi tempat dan ruang interpretasi dalam kehidupan beberapa manusia di malam konsert Sudirman di Jalan Chow Kit menggunakan lagu-lagu Sudirman yang menggambarkan jiwa kepenyanyian beliau sendiri.\nDrama rencam emosi ini menampilkan konflik dan drama manusia berlatarkan hari-hari konsert Sudirman pada tahun 1986 yang dianjurkan di Jalan Chow Kit. Percintaan, perbalahan, hubungan kekeluargaan dan persahabatan, pengkhianatan dan kesetiaan digarap mesra melalui babak dan lagu-lagu seniman Sudirman, dengan sentuhan dramatis Khairunazwan sebagai penulis.\nDepiktasi ini juga menunjukkan bagaimana realiti kehidupan beliau, Sudirman sebagai ahli seni, serta apa yang dilalui oleh peminat-peminat dan masyarakat yang hidup sezaman dan semasa dengan beliau. Secara tak langsung, Khairunazwan memberi gambaran suara dalaman seniman dan penyanyi agung itu melalui drama dan konflik watak Ramlan, Yusuf dan lain-lain.\nMuzikal ini menemui penonton dengan persembahan dan bunyi gah melalui hasil kerja Pengarah Muziknya, Eli Nyson diikuti ahli-ahli pemain muzik yang penulis teruja menggambarkan, berjaya menangkap jiwa malam meraikan kesenian muzik Sudirman. Berdasarkan reaksi dan maklumbalas penonton, titik cemerlang pementasan malam itu bermula dengan bunyi dan muzik yang dihasilkan pemuzik-pemuzik berkenaan.\nKerencaman seni koreografi kendalian koreografer Akid Jabran juga dilaksanakan dengan cemerlang oleh para dramawan. Selain itu, yang mencuri tumpuan juga adalah nilai produksi yang bermain peran memberi nyawa buat pentas dan cerita. Selain kekemasan dan kelengkapan prop, begitu juga takah kualiti permainan lampu yang menggarap cerita dan naratif pementasan.\nCereka berkenaan manusia dan muzik Sudirman itu dimarakkan lagi dengan persembahan bersemangat oleh para pelakon, yang diketuai Akmal Sulaiman sebagai Ramlan, watak utama muzikal itu dan Sara Sulaiman sebagai Zeti. Manakala yang mencuri tumpuan penonton dengan persembahan menakjubkan ditampilkan oleh Kirin Muhamad dan Dzeelfa Zainal sebagai Yusuf dan Laila. Babak-babak kunci seperti babak pembuka dan penutup dijulang emosi oleh getaran gema nyanyian Kirin Muhamad melagukan muzik-muzik Sudirman.\nPersembahan luar jangkaan dan menghiburkan (juga merembeskan air mata) oleh Azril Suhaili, Sarah Aisyah, Erry James, Yana Mat Dan, Andika Azhar, Hazirah Norizan dan Ron Isa juga bakal menjadi sebutan penonton dalam persembahan nostalgia pada malam itu.\nLebih daripada 15 buah lagu Sudirman disusun dan dipersembahkan oleh para dramawan, dibuka oleh Jauh di Sudut Hati, disusuli Mat Disco, Aku Penghiburmu, Hilang Berganti, Tanah Pusaka, Basikal Tua, Merisik Khabar, Pulang Dari Kilang, Aku Penganggur, Milik Siapakah Gadis Ini, Punch Card, Mama, Di Dalam Sepi itu, Pelangi Petang, Chow Kit Road, Nilai Cintamu, Bimbangkan Terluka Lagi, Hujan dan Air Mata dan dijulang penutup tirai dengan adikarya beliau yang ikonik, Salam Terakhir.\nDigalas dengan julukan \u2018pementasan Teater Muzikal Sudirmania 2020\u2019, ia sepatutnya dipentaskan pada pertengahan tahun 2020. Namun menemui nasib yang sama seperti kegiatan industri lain di negara, pementasan Teater Muzikal Sudirmania kali ketiga ini terpaksa ditangguhkan lebih setahun.\nWalaupun berlaku perubahan pelakon dan tarikh akibat situasi yang tidak dijangka, setelah beberapa kali penangguhan dan penjadualan semula, dengan tarikh baharu 16 hingga 19 Disember 2021, penggiat seni dan teater, Parallact 08 dan Revolution Stage berjaya menyusun dan mengelola sebuah pementasan yang luar jangkaan, penuh nostalgia dan menghidupkan malam meraikan jiwa Sudirman buat penonton." "Warga Emas Semakin Tertekan dan Sepi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPopulasi warga emas di Malaysia kini terus meningkat. Menurut laporan perangkaan suku pertama tahun 2021, komposisi penduduk warga emas berusia 65 tahun ke atas meningkat daripada 2.26 juta orang kepada 2.37 juta bagi tempoh sama. Kadar jangka hayat bagi lelaki ialah 73 tahun, manakala bagi wanita pula ialah 77 tahun.\nPeningkatan jangka hayat ini menjadikan Malaysia sebagai negara menuju tua pada tahun 2020. Dijangka juga populasi warga emas akan terus meningkat dua kali ganda menjadi 14 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi di Malaysia menjelang tahun 2044 dan menjadi \u201cnegara berusia\u201d. Lebih mengejutkan lagi, dijangka pada tahun 2056, Malaysia diklasifikasikan sebagai negara yang \u201cberumur\u201d.\nPenambahan populasi warga emas seiring dengan masalah yang sering kali kita dengar. Perubahan fizikal tubuh seperti lemah anggota kaki dan tangan, tidak seimbang dan mudah letih juga tidak dinafikan. Malah, semakin meningkat usia semakin tinggi risiko mengalami gangguan emosi seperti kemurungan dan kecelaruan. Warga emas yang tinggal sendiri tanpa penglibatan anggota keluarga atau jiran tetangga mengundang kepada masalah kemurungan.\nDalam kalangan masyarakat kita, rata-rata masih beranggapan perubahan yang berlaku dalam kalangan warga emas, khususnya gangguan emosi, disebabkan oleh proses penuaan. Tanggapan ini ada benar dan ada salahnya. Seseorang individu mungkin mengalami kemurungan yang melampau dan berpanjangan sekiranya tidak dirawat. Perubahan tingkah laku, emosi keterlaluan, mudah marah, mudah menangis dan reaksi yang tidak rasional menjadi salah satu tanda warga emas itu mengalami kemurungan.\nTambahan pula, pandemik COVID-19 yang melanda negara turut memberikan kesan kepada warga emas. Kawalan pergerakan yang terhad, isolasi di dalam rumah, tiada penglibatan aktiviti kemasyarakatan dan sosial serta pendedahan kepada internet di dalam telefon pintar menjadi punca kepada berlakunya tahap aktiviti yang rendah dan kurang aktif.\nKajian juga melaporkan bahawa ketika pandemik COVID-19 melanda, kebanyakan warga emas mudah berasa cemas, takut atau tertekan. Kawalan jarak fizikal dan sekatan perjalanan juga menyebabkan mereka merasa terasing atau kesepian. Keadaan ini menyebabkan warga emas lebih berisiko mendapat obesiti, tekanan dan penyakit kronik.\nKemerosotan tahap fizikal seseorang dapat dilihat oleh mata kasar. Walau bagaimanapun penurunan tahap emosi dan mental sukar dilihat. Pemeriksaan untuk warga emas yang memerlukan rawatan tetap bagi kes melibatkan gangguan emosi dan mental menjadi cabaran bagi golongan profesional kesihatan. Hal ini disebabkan oleh masalah ini tidak kelihatan dan sering kali disalah tafsir sebagai proses penuaan.\nStigma negatif terhadap gangguan emosi dan mental dalam kalangan warga tua juga mengakibatkan keengganan warga emas untuk mendapatkan pertolongan. Justeru itu, ahli keluarga terdekat disarankan untuk sentiasa mengenal pasti perubahan tingkah laku atau emosi bagi kedua ibu bapa mereka. Pemeriksaan awal dan rawatan dapat membantu warga emas ini agar kualiti kehidupan mereka lebih terjamin.\nGangguan mental dan neurologi yang kerap kali berlaku kepada golongan warga emas ini dinamakan sebagai demensia. Kemurungan mempengaruhi sekitar lima hingga tujuh peratus populasi warga emas di dunia. Kajian Kesihatan Nasional 2015 di Malaysia menunjukkan bahawa statistik gangguan kesihatan mental pada pesakit berusia 60 tahun ke atas adalah sebanyak 24 peratus. Jumlah ini dianggap sesuatu yang amat menyedihkan dan tindakan perlu diambil.\nMasalah kemurungan akan berterusan dan berulang-ulang. Hal ini menyebabkan gejala teruk yang mempengaruhi perasaan, pemikiran dan pengendalian aktiviti harian seperti tidur, makan dan bekerja. Terdapat kajian berkaitan kepekatan folat yang lebih rendah dalam darah dan sistem saraf menyebabkan kemurungan, gangguan mental, dan demensia. Golongan penyelidik juga merumuskan bahawa adanya kaitan antara kemurungan dengan penyakit alzheimer dalam kalangan warga emas.\nKemurungan juga memberikan kesan berbahaya dan menyebabkan perubahan terhadap tabiat makan seseorang. Hal ini mengakibatkan kegemukan, atau menyebabkan kehilangan selera makan yang besar sehingga tahap tenaga berkurang. Keadaan ini dikenali sebagai anoreksia geriatric jika berlaku kemurungan yang teruk dan berpanjangan.\nWarga emas yang mengalami kemurungan juga mengalami kadar insomnia dan kehilangan ingatan yang lebih tinggi. Mereka juga mempunyai tempoh reaksi yang lebih lama daripada biasa. Tempoh ini menyebabkan mereka lebih terdedah kepada bahaya yang mungkin mengganggu aktiviti harian, seperti memasak, memandu atau pekerjaan lain, yang memerlukan tumpuan dan fokus.\nMenurut satu kajian di Malaysia yang diterbitkan di British Journal of Community Nursing, sebanyak 59.1 peratus warga emas mengalami kemurungan dan faktor terbesar yang dipengaruhi ialah status perceraian, tahap pendidikan yang rendah dan pendapatan isi keluarga yang rendah.\nTambahan pula hasil dari kajian Dr. Azliyana Azizan, Pensyarah Kanan Fisioterapi bidang Geriatrik, mengatakan bahawa warga emas perlu meningkatkan kadar aktiviti fizikal dan senaman bagi mengurangkan gangguan kemurungan ini. Senaman dan aktiviti berjalan selama\u00a0 20 hingga 40 minit selama tiga kali seminggu dalam tempoh enam minggu dapat mengurangkan tanda kemurungan dalam kalangan warga emas.\nPandemik COVID-19 kini menjadi asbab utama bagi golongan ini kekal aktif, meskipun ketika di rumah. Segala bentuk aktiviti seperti berjalan di keliling rumah, naik dan turun tangga, bangun dan duduk di kerusi dapat dilakukan. Menurutnya lagi, aktiviti berjalan ini berkaitan dengan hipotesis endorfin yang dikaitkan senaman mempunyai kesan positif terhadap kemurungan kerana peningkatan rembesan \u03b2-endorfin. Endorfin ini dapat meningkatkan emosi yang positif di dalam badan.\nWarga emas yang mengalami kemurungan dan sepi disarankan untuk memulakan senaman dengan muzik bersama-sama pasangan atau melakukan aktiviti fizikal seperti berkebun. Warga emas yang berkebun secara konsisten dapat mengurangkan kemurungan. Hal ini disebabkan terdapat aura tanaman, seperti bau wangi, warna-warni dan hasil tanaman dapat menimbulkan rasa gembira dan kepuasan.\nHidup dengan kemurungan amat sukar, tetapi rawatan segera dapat membantu meningkatkan kualiti hidup. Rawatan yang kerap kali diberikan dalam bentuk ubat-ubatan ataupun menggabungkan rawatan perubatan dan terapi gaya hidup, termasuklah senaman.\nSetiap ahli keluarga dan warga emas haruslah sentiasa aktif dalam memastikan kualiti kehidupan yang lebih baik. Senaman yang konsisten, kekuatan hubungan dengan ahli keluarga terdekat dan rakan serta kualiti tidur yang baik dapat membantu mengurangkan kemurungan golongan warga emas." "Merakyatkan Seni dan Budaya di Kundasang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKundasang \u2013 Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah menganjurkan Program Jejak [email\u00a0protected] 2021 bertempat di Pentas Budaya, Pekan Kundasang, Ranau, hari ini.\nMenurut MOTAC, \u201cProgram yang mendapat kerjasama dari Pejabat Daerah Ranau dan agensi di bawah MOTAC ini merupakan program sentuhan komuniti bertujuan untuk memupuk semangat Keluarga Malaysia dalam kalangan penggiat seni dan usahawan budaya Sabah.\u201d\nProgram ini juga antara lainnya bertujuan untuk mempromosikan seni budaya Sabah khususnya di Kundasang.\nAntara pengisian menarik program sehari Jejak [email\u00a0protected] ialah Persembahan Khas \u201cKonsert Orkestra Muzik Bamboo dan [email\u00a0protected]\u201c, Demonstrasi dan jualan produk seni budaya tempatan, Program Komuniti: Bengkel Muzik Bamboo dan Kulintangan serta Program Komuniti: Pertandingan Memasak Berasaskan Sayuran dan Ukiran Buah.\nDalam pada itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Yang Berhormat (YB) Dato\u2019 Sri Nancy Shukri dalam ucapan perasmiannya berkata, \u201cMatlamat utama penganjuran program ini adalah untuk menyemarakkan semula aktiviti seni budaya dengan memaparkan kepelbagaian produk seni budaya setempat yang mampu meningkatkan dan memacu semula ekonomi negara.\u201d\n\u201cProgram Jejak [email\u00a0protected] memperlihatkan pelbagai aktiviti seni dan budaya berbentuk persembahan, pertandingan, demonstrasi dan bengkel muzik Bersama-sama komuniti setempat dan pemberian sumbangan kepada persatuan dan penggiat seni budaya tempatan. Setiap aktiviti yang diadakan dapat memberikan manfaat kepada komuniti, penggiat seni dan usahawan seni budaya tempatan dari segi pendapatan dan pembangunan produk,\u201d jelas MOTAC dalam satu kenyataan rasmi hari ini.\nPada majlis yang sama, YB Dato\u2019 Sri Nancy turut menyampaikan sumbangan kepada penggiat seni budaya setempat yang yang terjejas akibat daripada pandemik COVID-19. Insentif seni berbentuk dana berjumlah RM5000, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM40 ribu diberikan kepada penerima yang terdiri daripada tujuh persatuan dan satu galeri daripada kumpulan penggiat seni budaya di Kundasang dengan tujuan membangunkan kembali aktiviti produk seni.\nJelas YB Dato\u2019 Sri Nancy, \u201cInsentif ini diharap sedikit banyak dapat membantu penerima untuk bangkit semula bagi menjalankan aktiviti seni budaya seperti menambah baik peralatan muzik, busana tradisional dan sebagainya. Kita memahami bahawa ramai penggiat seni budaya yang terkesan akibat pandemik COVID-19.\u201d\nDalam program tersebut, YB Dato\u2019 Sri Nancy turut melancarkan Homestay baharu di Kundasang, iaitu Homestay Kampung Stay di bawah pengurusan Walai Tokou Homestay." "Penggiat Seni dan Budaya Terima Bantuan MOTAC\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLahad Datu \u2013 Bagi menghargai penggiat industri seni yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) mengadakan Program MOTAC Bersama Komunit[email\u00a0protected] Datu, bertempat di Dewan Sri Perdana, Lahad Datu, Sabah.\nMenurut MOTAC, \u201cMajlis yang diadakan pada hari ini hanya melibatkan penerima di sekitar Lahad Datu sahaja selepas mengambil kira pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).\u201d\nMenurut Yang Berhormat (YB) Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri, \u201cDalam situasi pandemik COVID-19 yang masih belum pulih sepenuhnya, MOTAC sentiasa komited dalam membantu serta memberikan sokongan kepada Badan Bukan Kerajaan (BBK), para penggiat serta pemain industri bagi merancakkan semula industri seni budaya negara.\u201d\nDalam satu kenyataan pada hari ini, MOTAC menyatakan, \u201cProgram MOTAC Bersama [email\u00a0protected] Datu ini bertujuan untuk membantu para penggiat seni budaya dan warisan melalui bantuan kewangan kepada BBK yang meliputi persatuan kebudayaan serta komunti kraf yang melaksanakan dan memartabatkan program-program dan aktiviti berteraskan seni, budaya dan warisan negara; dan sumbangan kepada penggiat industri seni dan kraf yang diharap dapat membantu mereka bangkit berkarya semula setelah sekian lama terkesan akibat penularan pandemik COVID-19.\u201d\nAntara penerima bantuan pada petang ini terdiri daripada mereka yang aktif dalam bidang seni dan budaya seperti bidang muzik, penulisan, seni visual, sejarah, tarian, seni mempertahankan diri, kraftangan dan warisan kebudayaan.\nDalam majlis yang diadakan ini, sebanyak 10 orang penerima BBK terdiri daripada persatuan etnik seni dan budaya yang menerima peruntukan sebanyak RM3000 setiap satu. Turut menerima sumbangan ialah 13 orang komuniti kraf (mewakili 78 penerima) berjumlah RM500 seorang.\n\nJelas YB Dato\u2019 Sri Hajah Nancy, \u201cSaya berharap semua pihak akan terus berpadu tenaga dan bersama-sama memastikan program dan aktiviti seni budaya dapat terus disemarakkan. Semoga sinergi positif yang wujud pada ketika ini dalam kalangan kita dapat diperkukuhkan lagi.\u201d\nSaya juga berharap semua penggiat kebudayaan dapat menyesuaikan diri melaksanakan program atau aktiviti seni budaya dalam suasana norma baharu.\nPada majlis tersebut, yang turut hadir ialah Ahli Parlimen Lahad Datu merangkap Adun Segama, YB Datuk Mohamaddin Ketapi, dan Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Datuk Wira Dr. Noor Zari Hamat, serta pengurusan tertinggi MOTAC." "Terokai Khazanah Negara di Muzium Matang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMuzium Matang yang dahulunya dikenali sebagai Kompleks Sejarah Negeri Perak terletak di Matang, Perak. Matang merupakan mukim di daerah Larut, Matang dan Selama, Perak yang berhampiran dengan Selat Melaka.\nBerdasarkan sejarah, Che Long Jaafar Dato\u2019 Paduka Setia Long Abdul Latif merupakan pengasas perkembangan bandar Taiping dan seorang jutawan bijih timah Melayu. Che Long Jaafar berjaya mengukuh kedudukannya sebagai pemerintah Larut dan seterusnya meletakkan asas pentadbiran yang mantap kepada anaknya, Menteri Ngah Ibrahim.\nJusteru, Muzium Matang pada asalnya dibina oleh Ngah Ibrahim yang bergelar Orang Kaya Menteri Paduka Tuan dan merupakan orang Melayu pertama pada tahun 1840 yang membuka perusahaan lombong bijih timah di kawasan Larut, Matang dan Selama.\nKota Ngah Ibrahim dibina pada tahun 1858 di Matang, Perak yang\u00a0 dahulunya dikenali sebagai permatang. Menteri Ngah Ibrahim telah menjadikan kotanya sebagai rumah kediaman, pusat pentadbiran Larut, kubu pertahanan, gudang menyimpan bijih timah dan pusat dagangan dan ditempatkan di kawasan seluas 0.8094 hektar. Bangunan ini dibina menggunakan bahan yang terdiri daripada batu bata pada tingkat bawah dan kayu pada bahagian atas.\nKedudukan Kota Ngah Ibrahim adalah strategik kerana terletak di persimpangan jalan darat dari selatan, timur dan utara. Kota ini dihubungkan dengan laluan laut melalui Sungai Malawati ke Sungai Larut dan seterusnya ke Selat Melaka.\nMenurut sejarah, Menteri Ngah Ibrahim dicatatkan sebagai seorang yang sangat kaya dan hasil pendapatan terbesar Menteri Ngah Ibrahim adalah melalui perusahaan bijih timah, ladang kopi di Asam Kumbang, Taiping dan ladang tebu di Kerian. Menteri Ngah Ibrahim mempunyai pasukan keselamatannya sendiri yang terdiri daripada sepoi-sepoi India dan diketuai oleh Kapten T.C.S. Speedy. Menteri Ngah Ibrahim telah melengkapkan kawasan kotanya dengan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya dan masjid.\nWalau bagaimanapun, Menteri Ngah Ibrahim dijatuhi hukuman dan dibuang ke Pulau Seychelles tanpa sebarang perbicaraan. Pembuangan Menteri Ngah Ibrahim ke Pulau Seychelles menyebabkan seluruh harta kekayaannya dirampas dengan kejam sehinggakan segala maklumat berkaitan dengan beliau telah dihapuskan oleh pihak British. Pihak British seolah-olah mahu memadamkan sama sekali mengenai sejarah Menteri Ngah Ibrahim daripada diketahui oleh generasi seterusnya.\nYang berikut merupakan kronologi sejarah rumah Ngah Ibrahim:\nKelas Pengajian Al-Quran dan Fardhu Ain (sebelah petang).\nKelas KEMAS dua kali seminggu dan sekali sekala dijadikan sebagai tempat mesyuarat atau perhimpunan penduduk kampung.\nPada tahun 2009 Kota Ngah Ibrahim telah diwartakan sebagai Bangunan Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.\nSetelah Ngah Ibrahim meninggal dunia, kota ini dijadikan Maktab Perguruan Melayu Matang (1913 \u2212 1922). Kota ini kemudiaannya dijadikan pula sebagai Sekolah Melayu (1923 \u2212 1941). Semasa zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1942 \u2212 1945), kota ini berperanan sebagai markaz pertahanan tentera Jepun.\nSelepas Jepun menyerah kalah dan berakhirnya Perang Dunia Kedua tahun 1946, kota ini dijadikan semula sebagai Sekolah Melayu dan Sekolah Kebangsaan Matang (1946 \u2212 1983) dan terus dijadikan sebagai pusat pendidikan hingga tahun 1985. Bermula pada tahun 1985, kota ini dijadikan Muzium Matang apabila diambil alih oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti Malaysia dan kekal sebagai muzium hingga kini.\nPada tahun 2009 Kota Ngah Ibrahim telah diwartakan sebagai Bangunan Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005. Pada hakikatnya, banyak lagi sejarah dunia dan khususnya sejarah Perak bermula di Muzium Matang oleh Menteri Ngah Ibrahim." "MOTAC Pergiat Misi Bantuan Pascabanjir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Tahun 2021 menutup tirainya dengan banjir yang melanda beberapa kawasan di negara ini. Antara negeri yang terjejas teruk ialah Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang. Pelbagai bantuan dari pelbagai sudut segera digerakkan oleh badan kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk meringankan beban mereka yang terkesan bencana tersebut. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) turut tidak terkecuali untuk sama-sama mempergiat misi bantuan banjir terutama di kawasan Kuala Langat, Selangor.\nPada 22 Disember 2021 yang lalu, MOTAC dengan kerjasama Majlis Pelancongan Negara telah menggerakkan inisiatif untuk membantu mereka yang terjejas di Kuala Lumpur dan Selangor. Selain dua agensi tersebut, dua persatuan hotel, iaitu Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Budget Hotel Malaysia (MyBHA) juga turut bersama-sama berganding bahu memberikan kerjasama menjayakan inisiatif ini.\nMisi yang diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Encik Norazman Othman telah dimulakan dengan penyampaian bantuan kepada Pegawai Daerah Kuala Langat, Encik Mohd Jusni Hashi, untuk diagihkan kepada mereka yang terkesan akibat bencana yang menimpa sekitar daerah tersebut. Inisiatif seterusnya adalah dengan menyerahkan bantuan kepada mereka yang terjejas yang telah ditempatkan di pusat penempatan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Manggis, Kuala Langat. Bantuan ini melibatkan 92 buah keluarga yang terjejas.\nSelain itu, pasukan MOTAC telah meninjau sekitar Pantai Morib dan Pantai Batu Laut serta Taman Rekreasi Paya Bakau, Sijangkang. Kesemua kawasan ini merupakan produk pelancangon yang terjejas teruk akibat banjir yang menimpa. Tinjauan ini dilakukan bertujuan untuk meninjau jumlah kemusnahan seterusnya memudahkan proses penilaian peruntukan yang akan disalurkan untuk menampung kos baikpulih kawasan tersebut.\nMenurut MOTAC, \u201cSebanyak 16 orang sukarelawan Voluntourism dalam kalangan warga kerja MOTAC juga tidak terkecuali bergotong-royong menggembleng tenaga bagi melakukan kerja pembersihan dua buah rumah dan satu balai raya di Kebun Baru, Telok Panglima Garang.\u201d\n\n\u201cSelain aktiviti gotong-royong dan tinjauan, MOTAC turut menyumbangkan barang keperluan harian seperti selimut, tuala wanita, telekung, ubat dan berus gigi serta pelitup muka buat kegunaan mereka yang terjejas banjir,\u201d jelas MOTAC.\nMOTAC berharap agar bantuan yang disalurkan sedikit banyak dapat mengurangkan bebanan mangsa banjir.\nTambah kementerian tersebut, \u201cMOTAC komited untuk terus mendokong aspirasi Keluarga Malaysia dengan membantu mereka yang terjejas akibat bencana banjir terutama melalui komitmen yang diberikan oleh para sukarelawan dan penggiat industri.\u201c" "Tempoh Kelonggaran Syarat bagi Syarikat Pengendali Pelancongan Berlesen Dilanjutkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nPutrajaya \u2013 Rentetan penularan pandemik COVID-19 yang menjejaskan kehidupan hampir keseluruhan populasi dunia, aktiviti pelancongan dilihat sebagai industri yang paling terjejas dan telah mengalami kemerosotan yang ketara. Memahami kesukaran yang dihadapi syarikat pengendali pelancongan yang dilesenkan di bawah Akta 482, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberikan beberapa kelonggaran syarat kepada pihak yang terlibat dalam menjalankan perniagaan agensi pengembaraan.\nAkta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) dan Peraturan-peraturan dikuatkuasakan oleh MOTAC. Melalui punca kuasa di bawah Seksyen 4 akta tersebut, Pesuruhjaya Pelancongan bertanggungjawab bagi penyeliaan am ke atas segala perkara yang berhubung kait dengan Akta 482.\nMenurut MOTAC, \u201cBerdasarkan sikap keprihatinan MOTAC terhadap nasib pengusaha pelancongan yang masih lagi terkesan dengan penularan wabak COVID-19, Kementerian ini bersetuju untuk melanjutkan lagi tempoh kelonggaran mulai 1 Januari 2022 sehingga 30 Jun 2022 bagi beberapa kelonggaran.\u201d\nKelonggaran yang diberikan ialah pelanjutan kelonggaran dari segi keluasan premis bagi syarikat pengendali pelancongan dan pelanjutan kebenaran untuk menjalankan perniagaan lain di dalam premis pengendali pelancongan. Selain itu, mereka turut diberikan pemanjangan tempoh penyewaaan premis perniagaan secara co-share office space.\nMelalui siaran media yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat MOTAC, kementerian ini berbesar hati melonggarkan syarat tersebut untuk \u00a0syarikat pengendali pelancongan dan manfaat ini dijangka dapat dinikmati oleh 5467 pengusaha pelancongan berlesen yang terkesan dengan penularan COVID-19." "Transformasi Kampung \u201cWarna-warni\u201c Cetusan Ilham Diraja Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSiapa sangka, sebuah perkampungan nelayan biasa mampu mengalami perubahan yang besar apabila menjadi kampung warna-warni yang indah hanya dalam tempoh kurang dari satu tahun.\nBermula dengan siri turun padang bagi menyantuni golongan asnaf di Perlis, maka tercetuslah ilham untuk mentransformasikan perkampungan paling utara di Malaysia yang bersempadan dengan Thailand, iaitu Kampung Seberang Ramai.\nIlham transformasi yang dicetuskan oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bersama-sama anakanda puteri sulung baginda, Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail telah membawa perubahan yang besar kepada masyarakat di kawasan Kampung Seberang Ramai.\nMenurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perlis (MAIPs), Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor, ketika DYTM Raja Muda Perlis mencemar duli dalam program kayuhan \u201cMAIPs Peduli\u201d, baginda melihat elemen ke arah penambahan nilai sesuatu kampung perlu diberikan penekanan.\nTambah beliau, baginda Raja Muda Perlis melihat keadaan Kampung Seberang Ramai berpotensi untuk mengalami perubahan yang baik dari sudut fizikal dan juga mentaliti masyarakat di kawasan kampung tersebut. Maka itu, bermulalah proses mentransformasikan Kampung Seberang Ramai sehingga menjadi tarikan baharu para pengunjung yang datang ke negeri Perlis.\nApakah reaksi penduduk Kampung Seberang Ramai apabila hasrat cetusan ilham diraja Perlis ini disampaikan kepada mereka? Bagaimanakah bentuk pelaksanaan program transformasi kampung warna-warni ini? Apakah perubahan yang berlaku terhadap Kampung Seberang Ramai, dan berhasilkah program transformasi perkampungan tradisional nelayan ini?\nUntuk mengetahui maklumat terperinci berkaitan dengan Projek Diraja Program Transformasi Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis, dapatkan Dewan Budaya Bil. 01/2022 di pasaran menerusi pautan ini." "Persidangan Penterjemahan Antarabangsa Ke-18 dalam Kebiasaan Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKUALA LUMPUR \u2013 Buat julung-julung kalinya, Persidangan Penterjemahan Antarabangsa Ke-18 (PPA18) yang akan diadakan pada 24 Ogos\u221226 Ogos 2021 bakal mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila persidangan ini akan dianjurkan buat pertama kalinya dalam suasana kebiasaan baharu, iaitu dilaksanakan secara maya ekoran pandemik COVID-19 yang menular.\nPembentangan secara maya membolehkan para ilmuwan, ahli bahasa, penterjemah, penulis, penerbit, editor, pengajar dan pelajar dari seluruh pelosok dunia bersama-sama dalam program tersebut untuk berkongsi dan bertukar ilmu, idea, pengalaman dan hasil kajian terkini demi meningkatkan kualiti terjemahan secara menyeluruh dan tanpa sempadan.\nPersidangan Penterjemahan Antarabangsa (PPA) yang juga dikenali sebagai International Conference on Translation (ICT) buat pertama kalinya dianjurkan pada tahun 1984 dengan inisiatif oleh Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).\nPersidangan ini ditubuhkan atas kesedaran terhadap peri pentingnya penterjemahan sebagai wahana dalam usaha pemindahan ilmu yang utama bagi membina kemajuan negara dan bangsa." "Pertahan Loghat Daerah dan Perubatan Tradisional dalam Teater\u00a0Cicit Wan Lebo\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u2013 Pada mulanya, teater\u00a0Cicit Wan Lebo\u00a0dirancang untuk dipentaskan mengikut konsep \u201cteater laman\u201d di Kampung Bota Kiri, Parit, Perak, iaitu teater terbuka berlatarbelakangkan rumah kampung di Bota, Perak.\nMenurut Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Dato\u2019 Mohd. Nizar Zakaria, Pengarah Cicit Wan Lebo, iaitu Amran Nasrudin telah berbincang dengan beliau kira-kira tiga tahun lalu menerusi Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM) untuk mementaskan teater ini mengikut konsep sedemikian.\nBagi Nizar yang juga Ahli Parlimen Parit, Perak, cadangan tersebut sangat menarik kerana lokasinya di tempat dan kawasan Parlimen beliau sendiri. Skrip yang juga menggunakan loghat Perak Tengah, khususnya loghat Parit, tambah beliau, dapat mengimbau kembali bahasa nenek moyang yang digunakan sebagai bahasa perantara masyarakat tempatan di daerah tersebut.\nWalau bagaimanapun, atas beberapa sebab, termasuk kekangan prosedur operasi standard (SOP) akibat pandemik COVID-19, pementasan Cicit Wan Lebo\u00a0tidak dapat dipentaskan mengikut perancangan.\nBegitu pun, Nizar tetap mengucapkan syabas kepada YAVM dan Pengerusinya, Kismah Johar, serta tenaga produksi kerana berjaya mementaskan\u00a0Cicit Wan Lebo pada 28 hingga 31 Disember 2021 ini dalam kebiasaan baharu dan norma baharu SOP di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), setelah hampir tiga tahun berusaha mendapatkan peruntukan pementasannya.\nSelama kira-kira 90 minit durasi pementasan,\u00a0Cicit Wan Lebo yang berlatarbelakangkan cerita masyarakat di kampung Ekor, Bota pada sekitar 1970-an, membawa kisah seorang wanita bernama Wan Esah atau lebih mesra dipanggil Wan Lebo (lakonan Anne Zahurin), yang terkenal sebagai penglipur lara, serta berbakat dalam seni dan budaya menerusi syair, pantun dan seloka.\nCicit Wan Lebo\u00a0turut dijayakan oleh pelakon terkenal drama televisyen, iaitu Lan Zailan sebagai Ngah Meto, Fathil Dani (Lebai Idris), dan Zarina Zainudin (bintang undangan), serta pelakon dan pelukis popular, Imuda.\nPara pelakon lain termasuklah Alif Azeman (Kadio), Rose Aida (Rose Ratu Banjar), Raffie (Yeop Tebo), Zuraida (Mak Piah),Azmie Daim (geng Ngah Meto 1), Razif Ajeep (geng Ngah Meto 2), Ewan Deen (Tok Kadi), serta Hazryn dan Syawal (pelajar universiti).\nSelain mengangkat loghat masyarakat Parit, dan menarik pelancong, pementasan\u00a0Cicit Wan Lebo\u00a0juga bertujuan mengisi tabung YAVM, sekali gus membantu golongan artis veteran yang terkesan akibat COVID-19 menerusi pembelian kupon atau pas masuk RM30 dan RM20 seorang." "Sewang: Tarian Tradisi Masyarakat Mahmeri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMasyarakat Mahmeri memang kaya dengan adat resam dan budaya kerana lingkungan hidup mereka masih berkait rapat dengan alam semula jadi walaupun sudah memasuki zaman moden. Adat dan kepercayaan mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan makhluk ghaib di alam semesta ini. Ketika menyambut hari kebesaran masyarakat mereka, amalan mengubat penyakit tetap dibuat secara tradisi yang melibatkan jampi serapah diiringi dengan tarian tertentu.\nJika diteliti, kebanyakan bentuk tarian dan nyanyian mereka bukan sekadar hiburan semata-mata, malah peranannya Iebih jauh daripada itu. Nyanyian dan tarian digunakan sebagai perantara untuk mengubat penyakit, menghalau hantu serta mengawal keselamatan kampung daripada diganggu oleh makhluk lain.\nTarian sewang merupakan satu amalan yang mempunyai makna popular bagi masyarakat Mahmeri yang bertujuan antara lainnya sebagai cara penyembahan kepada makhluk ghaib. Sebenarnya, tarian sewang mempunyai beberapa jenis seperti Sewang Chenchem, Gamok, Panoh, Penhei, Manjar, Pungei, Tanggei, Selombang dan lain-lain.\nSejarah juga mencatatkan bahawa Mahmeri merupakan suku yang popular dalam kalangan pelancong kerana kehalusan seni budayanya. Seni ukiran kayu anak kera yang bergayut pada ibunya telah mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Sekiranya tetamu datang ke perkampungan mereka, tarian selamat datang tanda mengalu-alukan kedatangan tetamu akan dipersembahkan. Tarian tersebut dikenali sebagai Mayin Jo\u2019oh.\nMenurut Tok Batin Sidim, 64 tahun, Tarian Mayin Jo\u2019oh bertujuan untuk menjemput roh nenek moyang supaya datang menyertai majlis yang diadakan. Dalam tarian berkenaan, dua lelaki memakai topeng yang dikenali sebagai Tok Pongkola dan Tok Nania turut menari bersama-sama penari wanita yang memakai pakaian khas diperbuat daripada pelbagai sumber alam semula jadi. Alat muzik yang dimainkan juga unik kerana mereka menggunakan peralatan tuntog (buluh), jule (biola), tambo (gendang dua muka) dan a-tawa (gong tembaga).\nTopeng dalam kehidupan masyarakat Mahmeri boleh diibaratkan seperti \u201cnyawa\u201d mereka kerana digunakan dalam pelbagai istiadat, termasuk penyembahan, merawat penyakit dan menolak bala. Pengukir topeng kayu Mahmeri terkenal, Samri Abdul Rahman memberitahu bahawa setiap topeng yang diukirnya mempunyai fungsi tertentu dan tidak boleh disentuh atau dipermainkan oleh orang di sekelilingnya. Sebagai contoh, topeng banyak digunakan dalam mengubati penyakit dalam etnik Mahmeri dan bomoh akan meminta ahli keluarga menghasilkan topeng dengan rupa bentuk mengikut mimpi yang disifatkan sebagai petunjuk untuk menyelamatkannya.\n\u201cSelepas topeng itu dibuat, topeng tersebut akan dibawa untuk upacara tarian sewang, iaitu satu cara mengubati penyakit dan kemudian diletakkan di sungai atau di dalam hutan sebagai tanda menghalau semua gangguan yang datang kepadanya. Kebiasaannya selepas topeng itu diletakkan di hutan atau sungai, pesakit akan kembali sembuh manakala penduduk atau orang luar disarankan tidak mengambilnya kerana dikhuatiri akan ditimpa penyakit sama,\u201d katanya sewaktu ditemui.\nHingga hari ini, topeng menjadi simbol penting dalam masyarakat Mahmeri, walaupun secara perlahan-lahan turut dikomersialkan sebagai produk kraf tangan. \u201cBukan mudah untuk menghasilkan topeng. Dalam kampung kami tidak ramai yang mempunyai kebolehan sebegini, iaitu tidak kurang daripada 10 pengukir yang masih aktif. Mengukir atas kayu keras mengambil masa dengan kebanyakan pengukir selesa menggunakan kayu pulai yang lebih lembut, cuma sukar didapati sekarang apabila banyak pokok yang ditebang dalam projek pembalakan,\u201d kata Samri Abdul Rahman.\nMenurut Tok Batin Sidim pula, tarian sewang yang dipersembahkan di Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey, Selangor mempunyai kaitan yang rapat dengan kepercayaan kerohanian. Tarian ini merupakan tarian tradisi masyarakat Mahmeri yang ditarikan oleh lebih kurang 10 orang penari lelaki dan perempuan atau lebih yang diketuai oleh seorang lelaki berusia yang bertindak sebagai penyanyi utama. Penari lain akan mengulangi baris nyanyian penyanyi utama dan bergerak sambil menghentakkan kaki ke lantai.\nTarian sewang merupakan satu tradisi masyarakat Mahmeri daripada nenek moyang hingga zaman sekarang. Tradisi turun-temurun ini digunakan bagi tujuan meraikan majlis menyambut tetamu ataupun perayaan. Tarian ini diikuti dengan lagu tersendiri, satu daripadanya ialah Bunga Alam.\nAlat muzik yang digunakan ialah keratan buluh dan juga kayu bulat sepanjang sepuluh kaki panjangnya. Buluh dimainkan oleh lapan orang pengetuk. Ketukan akan membawa irama sewang. Sebanyak 10 orang gadis akan mengayakan tarian tersebut. Tarian ini akan diketuai oleh seorang tukang karut.\nTegas Tok Batin Sidim, tarian sewang ialah satu bentuk persembahan tarian tradisional masyarakat Mahmeri yang masih kekal diamalkan hingga sekarang. Tarian ini dipersembahkan untuk berbagai-bagai fungsi seperti hiburan, buka cinta, perkahwinan, memuja semangat padi dan juga perubatan. Tarian ini menjadi wadah hiburan utama dalam kalangan masyarakat Mahmeri. Tarian ini biasanya diketuai oleh Tok Halaq. Sambil bersahut-sahutan beramai-ramai, penari perempuan mengetuk buluh centung ke atas buluh panjang atau kayu keras yang padat bagi mengeluarkan bunyi nyaring.\n\u00a0\nTarian ini biasanya dilakukan daIam empat gerakan yang berbeza-beza, bergantung pada fungsi tarian tersebut. Antaranya ialah tarian secara berbaris, iaitu penari-penari berada dalam satu barisan sambil menari. Bentuk seterusnya ialah bulatan, iaitu penari berada dalam bulatan sambil berjalan berpusing mengikut arah jam atau lawan jam. Selain itu, tarian ini juga dilakukan secara berpasangan antara lelaki dengan perempuan yang kadangkalanya berpegangan tangan. Manakala gerakan keempat ialah tarian secara beramai-ramai.\nTarian sewang untuk tujuan kegembiraan kebiasaannya diadakan setelah upacara menuai padi, menyambut kepulangan anak yang bekerja di perantauan, menyambut kedatangan tahun baharu, perkahwinan atau apa-apa sahaja yang difikirkan dapat memberikan kegembiraan di dalam kampung.\nSewang untuk perubatan pula dijalankan pada waktu malam selama enam hari berturut-turut. Semasa sewang perubatan dijalankan, orang luar tidak dibenarkan naik ke tempat tarian diadakan sehingga tarian selesai.\nMenurut Tok Batin Sidim, sewang dipercayai bermula daripada nenek moyang sebagai satu upacara yang diadakan apabila kaum keluarga berkumpul, terutamanya semasa musim buah atau semasa menuai padi. Kaum keluarga akan berkumpul dan mengadakan upacara sewang tari-menari. Mereka menghidangkan buah-buahan (semasa musim buah-buahan) dan menjamu selera berserta dengan hasrat menunjukkan kesyukuran.\nMenurut beliau lagi, sewang mula-mula menjelma dalam mimpi dari Pulau Buah (syurga). Ada pula pendapat lain yang mengatakan bahawa pengetahuan tentang sewang wujud sejak dahulu kala dan diketahui sejak turun-temurun sebagai satu tradisi Mahmeri. Sewang bermaksud tari-menari. Pada zaman dahulu kala dipercayai bahawa apabila mereka bermain sewang, mereka mendapat rahmat daripada Pulau Buah.\nTerdapat beraneka jenis sewang seperti sewang untuk perubatan, sewang untuk kenduri-kendara dan sewang untuk menyambut Hari Moyang. Sewang menyambut Hari Moyang dilaksanakan dengan lagu-lagu upacara untuk meraikan nenek moyang Mahmeri. Dalam persembahan sewang ini juga terdapat beberapa buah lagu yang dinyanyikan.\nSecara keseluruhan, kesenian sewang merupakan satu himpunan kegiatan dan proses estetika masyarakat Mahmeri yang melibatkan penyediaan alat muzik buluh tabuh (yang diperbuat daripada buluh pelbagai saiz), kerja-kerja pembinaan dan penghasilan balai permainan, pembinaan sanggar (tempat persinggahan roh nenek moyang), pembuatan kostum (yang diperbuat daripada kulit kayu dan anyaman mengkuang), anyaman dendan (daripada daun kelapa), penyediaan makanan, minuman dan sebagainya. Sebagai satu ekspresi kesenian dan estetika Mahmeri, sewang melibatkan nyanyian, tarian dan pemaparan simbol identiti harian mereka (raga rotan, beliung, sumpitan dan sebagainya) sewaktu menari.\nPendek kata, dalam keseluruhan tahap penyediaan dan kelangsungan tarian sewang ini, sebahagian besar daripada anggota komuniti yang berkenaan turut terlibat. Walaupun pada waktu persembahan berlangsung terdapat kumpulan orang yang bergiat sebagai pemain dan kumpulan lain yang menjadi penonton, namun pada hakikatnya, mereka yang kelihatan duduk sebagai penonton itu ialah \u201cpemain\u201d pada tahap persediaan sewang tersebut.\nOleh itu, dalam keseluruhan proses tarian sewang, membahagikan anggota komuniti itu sebagai pemain dan penonton secara ekslusif adalah kurang tepat. Bergantung pada keadaan, kumpulan dewasa dalam komuniti Mahmeri boleh menjadi pemain dan penonton secara silih berganti. Pada waktu tertentu, setiap anggota komuniti berkenaan pernah menjadi pemain sewang, sama ada sebagai penyanyi, penari, pemain muzik, penganyam dendan, pembina balai sewang, pembina sanggar, penyedia unggun api dan sebagainya.\nPembinaan sanggar dan penyediaan unggun api sebelum permainan bermula boleh dikatakan untuk menaikkan semangat darjat seni sewang ini ke tahap yang kudus atau suci. Hal ini dikatakan demikian kerana sanggar dan unggun api menjadi alat yang mengundang roh nenek moyang untuk \u201cturun\u201d bermain.\nTarian sewang boleh berubah menjadi persembahan sewang jika segala nyanyian, tarian, tiupan serunai buluh dan hentakan buluh tabuh dipersembahkan kepada penonton asing, terutamanya di tempat yang asing, jauh dari perkampungan komuniti berkenaan.\nSering kali juga komuniti Mahmeri diundang dan dibayar oleh agensi kerajaan untuk mempersembahkan sewang kepada khalayak bukan Mahmeri ataupun kepada kumpulan pelancong. Dalam konteks ini, sewang telah menjadi satu bentuk seni persembahan yang pada umumnya telah ketiadaan komponennya yang tulen dan kudus. Kekosongan seni persembahan ini terjadi kerana sewang tidak dimainkan dengan melibatkan sebahagian besar anggota kominiti Mahmeri yang berkenaan.\nSelain itu, dalam persembahan tersebut, roh nenek moyang tidak dijemput datang. Malah, sanggar yang menjadi tempat persinggahan roh juga tidak dibina di tempat persembahan. Oleh itu, roh nenek moyang tidak menjadi pemain dan penonton dalam persembahan ini. Dengan itu, seni persembahan sewang untuk tontonan khalayak luar komuniti ini ternyata ketiadaan ansur kerohanian dan ketulenannya.\nDaun kelapa merupakan peralatan penting dalam kesenian sewang. Daun kelapa yang dianyam akan dihias di sekeliling ruang tarian. Hiasan daun kelapa ini hendaklah disusun secara bersambung-sambung kerana dipercayai akan digunakan sebagai \u201cjambatan\u201d kepada gunik untuk memasuki tubuh Tok Halaq. Daun kelapa juga dijadikan aksesori dan \u00a0akan dililit di kepala, badan dan pinggang semua ahli sewang. Muka ahli sewang dihiasi dengan warna merah daripada biji buah kesumbar dan bintik putih daripada kapur.\nTok Halaq dan penari sewang akan memegang segenggam daun-daun hutan yang dipanggil \u201ckijau\u201d \u2012 biasanya terdiri daripada daun herba dan akar yang mempunyai bau harum, dipotong secara khusus supaya kelihatan cantik dan kemas. Daun dan akar ini biasanya diambil dari bukit atau gunung yang terdapat di sekitar kawasan tersebut.\nTok Halaq yang bertanggungjawab menjalankan upacara tarian sewang tidak boleh makan makanan yang pedas dan juga yang dianggap berbisa seperti ikan keli dan ikan berduri selama tujuh hari selepas upacara sewang. Dipercayai jika Tok Halaq melanggar pantang ini, penyakit yang diubati tersebut akan kembali. Selain itu, sepanjang sewang dijalankan, penonton tidak dibenarkan berbuat bising contohnya bergelak ketawa, menangis bagi kanak-kanak dan memasang lampu atau api bagi Sewang Gelap." "Karya Inspirasi dari Alam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSeni ialah satu ekpresi apabila setiap artis meluahkan apa-apa yang dipendamkan dan kemudiannya diluahkan dalam pelbagai bentuk seperti seni catan, muzik, arca, tekstil dan banyak lagi.\nSetiap hasil seni yang dihasilkan mempunyai maksudnya tersendiri, mungkin ada persamaan daripada pemilihan warna dan subjek, tetapi berbeza dari segi interpretasi dan pemahaman.\nDemikian menurut pencinta seni dan juga pelukis, Syahidzul Hafiz Md Sukaimi. Beliau berpandangan bahawa semua orang boleh mengkritik dan memberikan pendapat masing-masing mengenai sesuatu karya yang dihasilkan, namun interpretasi yang sebenar hanya boleh diambil daripada artis itu sendiri.\nSyahidzul Hafiz mula berkecimpung dalam dunia seni sejak zaman sekolah lagi. Pendedahan kepada pelbagai bentuk pertandingan di peringkat sekolah banyak memberikan semangat kepada beliau untuk terus berkarya.\n\u201cIni merupakan titik permulaan bagi saya untuk berkecimpung dalam dunia seni dan diteruskan dengan menyambung pengajian saya dalam bidang seni daripada peringkat diploma dan diteruskan pada peringkat ijazah,\u201d kata beliau.\nDalam penghasilan karya seni, Syahidzul Hafiz mengambil inspirasi dari alam semula jadi dan suka pada warna-warna yang ada pada alam semula jadi. Menurut beliau, \u201cKebanyakan karya saya lebih kepada alam semula jadi kerana pada saya, alam semula jadi lebih dekat dengan diri saya dan membuatkan saya lebih selesa dalam penghasilan sesuatu karya.\u201d\n\u201cBoleh dikatakan inspirasi saya datangnya dari alam sekeliling saya sendiri. Minat itu datang apabila saya melihat lukisan daripada para artis yang memaparkan karya mereka di pameran terbuka, Facebook, Instagram dan banyak lagi. Hal ini sedikit banyak menyuntik semangat untuk terus berkarya dan tidak jemu untuk berkongsi idea kepada orang ramai,\u201d jelas beliau.\nMenurut Syahidzul Hafiz, sejak berkecimpung dalam dunia seni lukisan, hasrat utama yang ingin dicapai ialah beliau ingin memperlihatkan kepada dunia hasil semua lukisan beliau. \u201cSaya mahu melihat reaksi dan komen daripada orang ramai terhadap karya saya kerana hal yang demikianlah yang dapat membantu saya melakukan penambahbaikan dalam penghasilan lukisan saya, selain dapat mengembangkan lagi hubungan antara artis dari luar negara,\u201d jelas Syahidzul Hafiz.\nSelain itu juga, beliau berharap agar setiap karya yang dihasilkan dapat dijadikan contoh bagi para pelajar di dalam dan juga di luar negara untuk mereka gunakan sebagai sumber rujukan dalam penghasilan karya seni.\nBagi penggiat seni seperti Syahidzul Hafiz, kebanyakan lukisan yang dihasilkan merupakan catan di atas canvas, dan beliau banyak menggunakan cat akrilik bagi penghasilan sesuatu karya. Hal ini dikatakan demikian kerana menurut beliau, cat akrilik lebih mudah digunakan kerana cepat kering dan mudah untuk beliau menyiapkan sesuatu karya itu sendiri.\nTambah beliau, \u201cFaktor banyak lapisan juga mempengaruhi saya untuk memilih cat akrilik. Media cat akrilik boleh dicampur mengunakan topcoats atau varnis untuk kelihatan lebih berkilat dan hidup. Apabila sudah kering, cat akrilik tidak akan tertanggal daripada canvas walaupun pelarut media ini ialah air.\u201d\nTeknik yang beliau gunakan ialah teknik glaze apabila warna dicampurkan bagi mendapatkan hasil yang realistik dan cantik bersesuaian dengan mood lukisan itu sendiri. Cat akrilik juga sangat baik untuk memberikan kesan timbul pada lukisan, caranya adalah dengan melukis lapisan dasar berulang-ulang kali.\nSementara itu, genre lukisan yang diminati oleh Syahidzul Hafiz ialah lukisan realistik. Menurut beliau, \u201cLukisan realistik mengajar kita erti pengamatan yang tajam selain dapat membantu kita dari segi pemahaman warna dan objek yang dihasilkan. Bagi sesuatu lukisan realistik, lukisan ini tidak dapat dihasilkan jika kita kurang faham mengenai objek dan warna itu sendiri.\u201d\nSelain berkecimpung dalam dunia seni, Syahidzul Hafiz juga seorang pendidik yang telah berkhidmat dalam dunia pendidikan selama tempoh kira-kira tujuh tahun. Menurut beliau, pengalaman mengajar murid bidang seni ini tidak susah jika mereka mempunyai minat yang mendalam dalam bidang ini.\nNamun begitu, tidak kurang juga terdapat murid yang kurang berminat pada seni. Justeru, di sinilah terletaknya tugas sebagai guru yang berperanan menarik minat golongan ini untuk mencintai bidang seni. Banyak usaha yang dijalankan bagi menarik minat murid terhadap subjek ini, antaranya adalah dengan memberikan mereka peluang menghasilkan sesuatu karya selain menunjukkan pelbagai teknik kepada mereka.\nHal ini akan membuatkan mereka lebih suka dan teruja setiap kali tiba waktu Seni di sekolah kerana selama ini mereka takut ingin mencuba disebabkan kurangnya pendedahan dan pengetahuan tentang sesuatu teknik dalam bidang seni itu sendiri.\nKelebihan saya mungkin boleh berkongsi karya saya bersama-sama mereka bagi memberikan keyakinan kepada mereka untuk mendapatkan hasil yang sama kerana saya telah membuktikan melalui karya yang saya hasilkan.\nMemasuki era digital, ramai yang berpendapat bahawa peminat seni lukis menurun seiring dengan peningkatan penggunaan teknologi. Walau bagaimanapun, bagi Syahidzul Hafiz, peminat seni lukis tidak berkurangan disebabkan kebanyakan peminat seni banyak menggunakan platform digital untuk menghasilkan sesuatu karya.\nIni merupakan revolusi yang agak baik kerana platform digital menjadi satu pendekatan yang berbeza selain penghasilan karya secara konvensional, malah sudah banyak lukisan yang terjual dan mendapat sambutan daripada hasil digital ini.\nPada saya, pendekatan ini akan menambahkan lagi peminat seni lukis tidak kira yang minat ke arah digital ataupun konvensional.\nDalam pada itu, Syahidzul Hafiz berharap agar mereka yang baru berkecimpung dalam dunia seni tidak berputus asa untuk berkarya, terus berkarya dan tidak malu untuk bertanya kepada artis yang sudah lama menapak dalam bidang ini. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka lebih memahami dan mempunyai banyak pengalaman sebelum ini.\nPemikiran yang kreatif dan luas amat diperlukan bagi menghasilkan karya yang baik." "Dikir Barat Citra Keharmonian Masyarakat Kelantan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Bersempena dengan Program Semarak Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021, satu seminar dalam talian yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kelantan telah dianjurkan pada 29 Disember 2021, pukul 11.00 pagi.\nSeminar bertajuk \u201cDikir Barat: Cerminan Keharmonian Masyarakat Kelantan\u201d ini menampilkan tiga orang ahli panel, iaitu tokoh budayawan dan penulis, Datuk Haji Abdul Aziz Deraman, Mantan Pegawai Kebudayaan di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kelantan (JKKN), Encik Mohd Sukarno Abdul Wahab, serta penggiat seni dikir barat yang tidak asing lagi, Encik Mohd Subhie Yusof.\n\nDikir barat ialah seni yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam kalangan masyarakat Kelantan. Seni ini merupakan satu bentuk ekspresi rakyat Kelantan dan diterima baik oleh segenap golongan sama ada tua ataupun muda. Pada masa kini, terdapat inisiatif untuk memperkasakan seni warisan ini oleh media rasmi seperti Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) mahupun stesen swasta. Seni ini umumnya ialah satu alat untuk mendidik generasi tentang masyarakat. Seni ini sangat dekat dengan masyarakat bahkan menjadi medium untuk menyampaikan suara mereka.\nDalam konteks Keluarga Malaysia yang diasaskan oleh Perdana Menteri Malaysia kesembilan, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, dikir barat juga dianggap satu medium yang boleh membentuk satu keluarga. Encik Mohd Sukarno menjelaskan, \u201cDikir barat boleh dimanfaatkan untuk mengharmonikan anggota masyarat serta negara kerana skrip dikir barat membawa mesej positif seperti ketuhanan, kekeluargaan dan kemasyarakatan.\u201d\nWalaupun dikir barat sangat sinonim dengan masyarakat Kelantan, tidak dinafikan bahawa seni ini turut diterima oleh masyarakat Malaysia amnya. Menurut penggiat seni dikir barat, Encik Mohd Sulhie, \u201cDikir barat bahkan menjadi alat pengharmonian bagi seluruh masyarakat Malaysia. Saya pernah dijemput oleh sebuah sekolah di Sarawak untuk mengajar dikir barat kepada pelajar yang 100 peratus merupakan masyarakat Iban. Dengan sokongan pelbagai pihak termasuk ibu bapa, dikir barat kini masuk ke dunia yang jauh dari dunia dikir barat yang sebenar.\u201d\nKita perlu faham bahawa dikir barat bukan acara kebudayaan seperti nasyid. Sudut ini perlu diperbetulkan, dikir barat ialah satu persembahan rakyat dan medium penyampaian untuk masyarakat.\nUntuk penambahbaikan warisan serta kelestariannya sebagai satu warisan terutama buat generasi muda, pelbagai inisiatif perlu disuntik kepada warisan ini. Tok Jogho sebagai contoh, perlu menjadi watak yang boleh membawa pelbagai isu dan input yang bernilai tinggi. Di samping itu, para penonton ataupun golongan sasaran di hadapan perlu dikenali agar isu yang mahu disampaikan dapat disalurkan secara tepat dan mengikut konteks. Tok Jogho juga perlu rajin membaca untuk menambahkan pengetahuan terutama berkaitan isu terkini.\nEncik Mohd Sukarno menyatakan bahawa dianggarkan Kelantan mempunyai 1000 orang pendikir. Namun begitu, kebanyakan pertandingan melibatkan dikir barat hanya dianjurkan oleh pihak RTM dan beliau menggesa pihak JKKN agar lebih proaktif menganjurkan pertandingan untuk para pendikir ini. Selain itu, garis panduan pemenang harus dilaksanakan oleh mereka yang pakar dalam dikir barat selain menyediakan satu garis panduan tentang syarat pemilihan kumpulan, bilangan ahli kumpulan, jumlah alat muzik dan juri pertandingan.\nDikir barat mampu menjadi gerakan kepada pembangunan bangsa. Encik Mohd Sulhie menegaskan bahawa pendikir perlu memberikan pemahaman kepada penonton yang berada di hadapan. Elemen dikir barat perlu diterapkan mengikut tempat yang mana persembahan dilakukan. Pendikir perlu mengolah persembahan agar difahami oleh segenap barisan penonton.\nDalam pada itu, Datuk Abdul Aziz menambah bahawa pendikir perlu mempunyai pengetahuan yang mencukupi.\nTema yang mahu dibawa boleh dipelbagaikan dalam apa-apa sahaja seperti tema patriotisme dan ekonomi. Namun begitu, seorang tukar pendikir perlu mengetahui asas-asas bagi sesuatu perkara. Banyak perkara nasihat perlu ada dalam penyampaian.\nDalam kalangan masyakarakat Kelantan itu sendiri, terdapat beberapa pendikir dalam kalangan orang Cina. Dalam hal ini, soal kaum sudah dibelakangkan. Ini menujukkan dikir barat menjadi satu medium pengharmonian masyarakat khususnya di Kelantan kerana dikir barat diterima baik oleh kaum Cina mahupun India. Tidak dinafikan dikir barat lebih dekat dalam kalangan masyarakat marhaen berikutan isu yang disampaikan sangat dekat dengan anggota masyarakat di luar bandar.\nMenyentuh soal budaya, Encik Mohd Sukarno berpendapat bahawa ramai orang melihat budaya secara tidak tepat. Oleh itu, budaya nilai tinggi dan pendidikan sangat penting dalam memberi maklumat tentang kebudayaan.\nKita lahir sehingga kita masuk ke liang lahad, boleh dikatakan sebagai proses berbudaya. Pendidikan akan membentuk nilai kita dan budaya ini ialah proses sepanjang hayat. Ketika masa dulu, apabila masuk waktu Mahgrib, anak-anak sudah perlu berada di rumah. Tujuannya apa? Ya, untuk berjemaah dengan ibu ayah. Kita juga minta izin untuk keluar dari rumah dan ini ialah contoh budaya nilai tinggi.\nPeluang yang lebih luas seharusnya diberikan kepada kumpulan dikir barat seperti ruang buat mereka dalam segmen iklan dan kempen, serta pendedahan dan kursus buat para pendikir bagi menambahkan keprofesionalisme mereka dalam menyampaikan seni warisan." "Expo 2020 Dubai: Ruang Mempromosikan Ekopelancongan Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDubai \u2013 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui agensinya, Tourism Malaysia menjadi tuan rumah kepada Pavilion Malaysia bagi minggu ke-13 di Expo 2020 Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula pada 26 Disember 2021 hingga 31 Disember 2021.\nDelegasi Malaysia disertai oleh 16 organisasi yang terdiri daripada lima lembaga pelancongan negeri, tiga persatuan, satu rangkaian hotel, satu pemilik produk dan enam pengusaha pelancongan.\nMenurut MOTAC, \u201cDengan bertemakan ekopelancongan, Malaysia dipromosikan sebagai Top of the Mind Ecotourism Destination of the World.\u201d\nMinggu Ekopelancongan di Astaka Malaysia adalah bertepatan dengan Dasar Pelancongan Negara Malaysia 2020\u2212 2030 yang mengetengahkan aktiviti pelancongan lestari dan bertanggungjawab.\u201d\nTambah MOTAC, \u201cSepanjang Minggu Ekopelancongan di Astaka Malaysia, Tourism Malaysia juga dijadual menganjurkan siri perkongsian ilmu Expert Talk yang memberikan peluang kepada para peserta mengetahui dengan lebih lanjut tentang perspektif ekopelancongan yang berbeza di Malaysia.\u201d\n\u201cPerkara ini disampaikan oleh para penceramah terkenal Malaysia, iaitu Encilk Andrew Sebastian (Ecotourism & Conservation Society Malaysia), Encik Syed Abd Rahman Syed Hassan (Diveheart Malaysia), Profesor Adjung Anthony Wong Kim Hooi (Pakar Ekopelancongan dan Kelestarian) dan Encik Eric Sinnaya (Malaysia Nature Society),\u201c jelas MOTAC lagi.\nDalam pada itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Yang Berhormat (YB) Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri turut merasmikan pelancaran beca tradisional Malaysia pada 29 Disember 2021 serta beberapa pakej Malaysia yang mempromosikan produk ekopelancongan baharu di seluruh Malaysia.\n\u201cDato\u2019 Sri Nancy juga akan menghadiri majlis majlis makan malam bersama-sama para pemain industri dan wakil media di UAE pada 30 Disember 2021 bersempena dengan Misi Jualan Pelancongan yang pertama kali diketuai beliau di Timur Tengah. Misi pelancongan yang bermula pada 1 hingga 5 Januari 2022 bertujuan memulihkan dan meningkatkan komitmen dalam mewujudkan kerjasama pelancongan bersama-sama pemain industri pelancongan antarabangsa pada masa hadapan,\u201d tambah MOTAC menerusi satu kenyataan rasmi pada 29 Disember 2021.\nPenyertaan Malaysia dalam Expo 2020 Dubai diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) sebagai agensi pelaksana.\nUntuk maklumat lanjut mengenai ekspo ini, layari laman web rasmi Expo 2020 Dubai." "Kajian Orang Asal: Daripada Data Mentah kepada Penerbitan Buku\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nOrang Asal atau lebih dikenali sebagai orang Asli merupakan masyarakat peribumi yang mendiami sesuatu tempat dan tidak terpengaruh dengan masyarakat di tempat tersebut secara umum. Hal ini dikuatkan lagi dengan pernyataan daripada Mohd Mizan Mohammad Aslam dan Shuhairimi Abdullah (2004), iaitu orang Asli mempunyai susur galur hubungan dengan zaman Mesolitik dan Paleolitik. Oleh hal yang demikian, jelaslah di sini bahawa orang Asal dilihat mempunyai ciri-ciri ketulenan yang menjadi warisan dari generasi ke generasi dalam pelbagai aspek seperti bahasa, budaya, adat resam, pantang larang dan sebagainya.\nMelihat kepada masyarakat orang Asal di luar negara misalnya Australia, terdapat satu komuniti orang Asal yang dikenali sebagai suku kaum Aborigin yang dikenali oleh orang luar sebagai penduduk Kepulauan Torres Strait. Hingga tahun 2016, sebanyak 798 365 orang Asal di sana yang mewakili 3.3 peratus keseluruhan penduduk Australia.\n\nLebih menarik lagi, pelbagai inisiatif yang diambil oleh kerajaan Australia dalam usaha memelihara dan memulihara suku kaum Aborigin ini. Bandar besar seperti Sydney, Melbourne dan Canberra tidak meminggirkan persekitaran semula jadi bagi orang Asal. Misalnya, di Sydney, terdapat sebuah muzium yang dikenali sebagai Australian Museum berperanan dalam menempatkan lebih 40 ribu senjata, alat perhiasan diri, lukisan kulit kayu, peralatan dan permainan suku kaum Aborigin.\nDi Malaysia, terdapat pecahan tiga suku kaum orang Asal, iaitu suku Negrito, Senoi dan Melayu-Proto yang berjumlah 178 179 orang seperti yang telah dicatatkan hingga tahun 2018. Daripada jumlah tersebut, terdapat 18 suku kaum yang masih kekal di Semenanjung Malaysia.\nPecahan tersebut memperlihatkan kekayaan dan kepelbagaian bahasa dan budaya masyarakat peribumi yang harus dipelihara sebelum ditelan arus pemodenan. Kebimbangan tersebut dapat dilihat terhadap suku kaum Bateq yang terdedah dengan ancaman kepupusan disebabkan faktor penyakit demam campak yang merebak pada tahun 2020 dan memaksa mereka berpindah semula ke hutan.\nPerpindahan tersebut menyebabkan kesukaran mereka untuk menerima rawatan daripada pihak kesihatan sekali gus meningkatkan kadar kematian yang boleh membawa kepada kepupusan suku kaum tersebut. Menariknya, suku kaum Bateq terkenal dengan kepakaran ilmu hutan seperti membezakan jenis pokok untuk dijadikan atap dan dinding pondok, menggunakan sumpit untuk berburu, dan mereka juga arif tentang herba-herba hutan.\nRentetan kepakaran yang dimiliki oleh penduduk suku kaum Bateq, jika suku kaum tersebut mengalami kepupusan adalah menjadi satu kerugian kepada Malaysia kerana kehilangan sesuatu yang besar dalam warisan dan cara hidup yang asli bagi kaum peribumi.\nMaka itu, dalam usaha memelihara warisan penduduk tersebut, langkah seperti pendokumentasian dan pembukuan perlu giat dijalankan terutamanya oleh ahli akademik. Hal ini diperkuatkan dengan pernyataan oleh Noraien Mansor dan Noor Rohana Mansor (2015), iaitu penerbitan\u00a0 ilmiah\u00a0 khususnya\u00a0 melalui\u00a0 karya buku, artikel dalam jurnal dan prosiding menjadi pentas\u00a0 utama\u00a0 bagi\u00a0 ahli\u00a0 akademik\u00a0 di\u00a0 institusi pengajian tinggi negara mendesiminasikan hasil-hasil\u00a0 penyelidikan\u00a0 dan\u00a0 inovasi\u00a0 terkini\u00a0 kepada masyarakat. Justeru itu, tindakan tersebut mampu merancakkan penyebaran maklumat tentang orang asal kepada masyarakat umum dengan penghasilan kajian yang lebih terperinci dan bermaklumat.\nKajian berbentuk jurnal mengenai suku kaum Semai pernah dijalankan oleh Riduan Makhtar et. al (2018) yang melihat sikap dan persepsi masyarakat terhadap bahasa Semai dan dikembangkan lagi pada tahun berikutnya oleh Siti Aisah Zailani, Riduan Makhtar dan Mohd Sharifudin Yusop dengan kajian mereka yang melihat pemilihan bahasa dalam masyarakat Semai.\nSeterusnya, kajian mengenai suku kaum Jahut dijalankan oleh Nur Faaizah Md Adam, Mohd Sharifudin Yusop dan Riduan Makhtar (2018) yang meneliti aspek fonologi dan leksikal serta kajian mengenai hubungan linguistik antara bahasa Kentaq dengan bahasa Melayu yang dilakukan oleh Noor Saadah Salleh (2017).\nSelain itu, kajian mengenai kata ganti nama dalam suku kaum Mendriq turut dijalankan oleh Fazal Mohamed Mohamed Sultan dan Mohd Romzi Ramli (2015) juga dilihat sangat signifikan dalam mengangkat warisan dan kesenian orang Asal dalam bentuk ilmiah.\nSelain jurnal, buku mempunyai fungsi yang tersendiri dalam mengangkat sesuatu ilmu ke tahap yang lebih tinggi. Hal ini bertepatan dengan kenyataan oleh Zahazan Mohamed (2015), buku adalah untuk menyediakan bahan bacaan yang membangunkan modal insan dan seterusnya dapat membina intelektual dan spiritual masyarakat secara holistik. Maka itu, dapat dilihat pembangunan industri buku sebagai alat yang menjadi wadah ilmu pengetahuan dalam sesebuah masyarakat.\nBuku dapat didefinisikan sebagai lembaran kertas yang mempunyai jilid serta mengandungi pelbagai genre penulisan dan memiliki kumpulan sasaran pembacanya yang tersendiri. Sesebuah buku memiliki daya penarik berdasarkan kemampuan untuk menggugah keinginan pembaca serta melahirkan pembaharuan yang lebih jitu dan lengkap.\n\nMenyingkap sejarah dahulu, para penjajah menghasilkan buku yang mengandungi kosa kata bahasa Melayu bagi mengembangkan perdagangan dan agama di samping mendekati penduduk tempatan. Di sini dapat dilihat bahawa buku memainkan peranan yang penting dalam merekodkan sesuatu ilmu seperti bahasa dan budaya agar menjadi bukti bertulis dalam peradaban sesuatu bangsa.\nBertitik tolak daripada peri pentingnya sesebuah buku kepada warisan adat dan budaya sesuatu kaum, maka bahasa dan budaya orang asal ini begitu penting untuk \u00a0dibukukan supaya warisan tinggalan mereka yang berharga dapat dijaga dan dikekalkan.\nMisalnya menerusi bahasa suku kaum Jakun di Lenga, Muar, Johor yang memperlihatkan perbezaan dengan bahasa Melayu standard dari segi ejaan dan sebutan. Kata panggilan dalam keluarga, iaitu bapa disebut sebagai \u201cembai\u201d manakala \u201cninik\u201d merujuk nenek. Contoh lain dapat dilihat seperti jadual berikut.\nContoh tersebut jelas memaparkan keunikan bahasa yang dituturkan oleh suku kaum orang Asal dalam kehidupan seharian. Hal ini dikatakan demikian kerana kelainan kosa kata orang Asal ini melambangkan kekayaan warisan yang dibawa oleh mereka dari satu zaman ke zaman yang lain. Tambahan pula, bahasa merupakan cerminan kepada budaya sesuatu kaum yang perlu diangkat melalui pembukuan. Usaha membukukan data mentah masyarakat peribumi ini perlu rancak dijalankan agar tidak lenyap dek asimilasi dengan masyarakat luar dan rempuhan globalisasi.\nTidak dinafikan, terdapat banyak buku mengenai orang Asal pernah diterbitkan sebelum ini. Antara buku tersebut ialah hasil penulisan Dolah Tekoi (2020) yang berjudul Adat dan Pantang Larang Orang Asli Semenanjung Malaysia: Suku Urang Huluk (Jakun) Johor, Pembangunan Kontemporari Orang Asli oleh Sarjit S.G. Gill dan Mohd. Roslan Rosnon (2019) serta Semiotik Sosial Masyarakat Seletar oleh Samsur Rijal Yahaya (2019). Bukan itu sahaja, buku bertajuk Orang Asli: Pembangunan dan Transformasi karya Ramle Abdullah juga telah diterbitkan pada tahun 2014, manakala pada tahun sebelumnya, Mohd Sharifudin Yusop menulis buku mengenai keterancaman bahasa orang Asli suku Duano dan Kanaq.\nJusteru itu, pendokumentasian data mentah dalam bentuk buku memainkan peranan yang besar dalam memastikan kelestarian sesuatu warisan bagi semua peringkat masyarakat tidak kira murid di sekolah, para pelajar di institusi pendidikan, tenaga pengajar dan para penyelidik khususnya dalam bidang akademik.\nJika diteliti secara lebih mendalam, buku memiliki fungsinya yang besar kepada para pembaca kerana maklumat yang terkandung dalam buku adalah bersifat sahih, lengkap dan sistematik serta mempunyai tahap keterbacaan yang tinggi. Kenyataan ini turut diketengahkan oleh Sa\u2019dun Akbar (2013) yang meletakkan kriteria-kriteria dalam sesebuah buku ilmiah agar lebih berkualiti dan dipercayai. Perkara ini dapat dijayakan melalui gerakan ilmiah antara pentadbir tempatan dan institusi pengajian dalam merangka tindakan ke arah pendokumentasian data mentah.\nBuku-buku yang dihasilkan juga boleh dipelbagaikan bentuk format penulisan agar seiring dengan perkembangan teknologi semasa. Usaha-usaha proaktif ini dilihat dapat memastikan khazanah orang Asal terus dipelihara daripada mengalami kepupusan dan menjadi rujukan bertulis serta bahan bukti kepada pengkaji akan datang sama ada di dalam mahupun luar negara." "MOTAC Jadikan Klang Kawasan Angkat Pascabanjir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Daerah Klang telah dijadikan kawasan angkat oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebagai satu inisiatif untuk membantu menggiatkan lagi usaha pembersihan pascabanjir di kawasan yang terjejas teruk akibat daripada bencana tersebut.\nSehubungan dengan itu, satu misi khas bantuan pascabanjir telah dilancarkan ke kawasan Taman Sri Muda dalam Daerah Klang yang merupakan antara kawasan yang kritikal. Menurut MOTAC, MOTAC menggerakkan seramai 150 kakitangan serta agensi di bawahnya bagi misi khas tersebut setelah kawasan itu dijadikan sebagai kawasan angkat.\nKetua Setiausaha MOTAC, YBhg. Datuk Wira Dr. Noor Zari Hamat berkata,\nSeramai 150 orang kakitangan serta agensi di bawah saya terlibat sebagai sukarelawan untuk misi bantuan khas pada kali ini termasuklah pasukan Voluntourism dalam kalangan penggiat industri di bawah MOTAC. Pasukan sukarelawan yang menyertai misi tersebut telah membantu kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir yang terjejas teruk akibat kesan lumpur yang tebal.\nDengan bantuan Pejabat Tanah dan Daerah Klang serta Majlis Bandaraya Shah Alam, MOTAC juga sedang giat mengumpul maklumat berkenaan dengan jumlah rumah dan keluarga yang masih memerlukan bantuan sukarelawan terutama di kawasan angkat tersebut. Maklumat ini dikumpulkan bagi melancarkan gerak kerja sukarelawan bagi kerja pembersihan serta merancang misi pascabanjir seterusnya.\nSetakat 29 Disember 2021, MOTAC telah menyertai sekurang-kurangnya 30 misi bantuan pascabanjir yang melibatkan lebih kurang 1000 orang sukarelawan termasuk di Daerah Klang. Misi ini melibatkan beberapa lokasi yang terjejas teruk di sekitar Selangor dan Pahang." "Nostalgia Anak Kampung di Muzium Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Muzium Negara Malaysia di ibu negara mengadakan program Nostalgia Anak Kampung dari 22 November 2021 hingga 26 Disember 2021 bagi mengajak masyarakat mengimbau kenangan silam kehidupan kanak-kanak di desa dengan menampilkan pelbagai jenis permainan tradisional.\nPermainan tradisional ini termasuk congkak, batu seremban, gasing, sepak raga, sepak bulu ayam, senapang kayu, gerek buluh dan baling selipar.\n\nSelain mempamerkan pelbagai jenis permainan tradisional di ruangan galeri muzium, demonstrasi permainan tersebut turut diadakan yang membuka penyertaan kepada pengunjung.\nKetua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata, pameran itu diadakan lagi buat kali keempat sejak tahun 2018 bagi menonjolkan daya kreativiti anak-anak kampung sejak zaman silam yang meneruskan tradisi permainan tersebut daripada generasi terdahulu.\nMuzium Negara menyifatkan permainan tersebut sebagai unik dan perlu ditonjolkan terutama kepada generasi kanak-kanak di bandar yang kini lebih cenderung kepada permainan digital dalam peranti mudah alih termasuk telefon bimbit.\nBagi mengimbangi keadaan tersebut, pelbagai jenis permainan warisan itu perlu terus dipelihara kerana keunikan penciptaannya mampu menguji kecekapan dan pada masa yang sama menjalin silaturahim dalam kalangan kanak-kanak." "Sejarah Kewujudan Mukim di Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTidak ramai yang mengetahui mengenai kewujudan mukim di Perlis. Namun demikian, sejak pandemik COVID-19 melanda negara, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Perlis mengeluarkan data kes penularan COVID-19 berdasarkan mukim walaupun sebelum ini rata-rata generasi muda hanya mengetahui kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja.\nMenerusi penulisan Ahmad Ismail dan Yazid Mat (1992) dalam buku Perlis Indera Kayangan: Sejarah Pembentukan Sebuah Negeri Berdaulat, pembentukan mukim bermula sejak zaman pemerintahan raja pertamanya lagi, iaitu Syed Husain Syed Harun yang bertujuan untuk memperkukuh sistem pentadbiran pemerintahan baginda.\nSebanyak 22 buah mukim yang telah dibentuk oleh baginda bersama-sama Dato\u2019 Perdana Menterinya, iaitu Titi Tinggi, Abi, Beseri, Kuala Perlis, Paya, Padang Siding, Wang Bintong, Padang Pauh, Utan Aji Kurung Batang, Ngulang, Oran, Seriap (Seriab), Arau, Kayang, Kechor, Sena, Chuping, Sungai Adam, Kurung Anai, Jejawi dan Sanglang. Mukim yang paling besar ialah Titi Tinggi.\nSetiap mukim yang dibentuk akan diurus oleh para penghulu yang dilantik oleh baginda sendiri. Penghulu tersebut merupakan kaum kerabat baginda dan ahli keluarga Dato\u2019 Arau (Perdana Menteri Perlis).\nHingga hari ini, mukim-mukim tersebut masih wujud. Tidak kurang juga sejarah yang ditinggalkannya terlalu banyak. Apabila menyingkap sejarah kewujudan negeri Perlis sememangnya tersimpan berjuta-juta kisah. Sejarah yang panjang melebihi usia negerinya telah menjadikan Perlis negeri sangat unik.\nMenurut Dr. Ibrahim Bakar (2019) dalam bukunya, Rahsia Kota Palas, Kota Palas atau Negeri Palas telah wujud sejak tahun 1050 Masihi. Hal ini terbukti dengan beberapa sumber menyebut berkaitan dengan Kota Palas. Antara sumber yang menyentuh berkaitan dengan Kota Palas ialah Hikayat Merong Mahawangsa dan kitab Undang-undang Kedah.\n\nSebelum menjadi negeri berdaulat dan mempunyai pemerintahan sendiri, Perlis adalah sebahagian daripada negeri Kedah. Setelah dijajah oleh Siam, Kedah dibahagikan kepada empat buah negeri, iaitu Negeri Kedah (Muang Saiburi), Negeri Kubang Pasu (Muang Kabang-pasu), Negeri Perlis (Muang Polit) dan Negeri Setul (Muang Satun).\nNegeri-negeri tersebut ditadbir oleh gabenor yang dilantik oleh Raja Besar Siam, iaitu Raja Nang Klau (Rama III). Malah, negeri-negeri yang dibentuk ini tidak tertakluk sistem pemerintahannya dengan negeri asal, iaitu Kedah.\nLebih menarik lagi ialah kisah permulaannya mendapat seorang pemerintah yang bergelar raja. Berbeza dengan negeri Melayu yang lain, Syed Husain Jamalullail telah membuka lembaran baharu apabila ditabalkan sebagai Raja Perlis oleh Raja Siam pada tanggal 10 Muharam 1250 Hijrah, bersamaan 20 Mei 1834.\nBuku yang ditulis oleh Buyong Adil (2019) yang bertajuk Sejarah Perlis menyatakan, Pertabalan ini berlangsung di balairung seri istana Raja Siam di Bangkok. Bahkan pertabalan ini juga telah disokong oleh Raja Ligor Nakhon di Thammarat.\nRaja Syed Husain yang telah ditabalkan menjadi Raja Perlis pertama dianugerahkan oleh Raja Siam sepersalinan, perkakas kebesaran dan senjabat (senjata tujuh). Selain pengisytiharan itu, Raja Siam juga memerintahkan Raja Perlis supaya menghantar ufti Bunga Emas setiap tiga tahun sekali. Hal ini serupa sebagaimana Sultan Kedah yang diperintahkan untuk menghantar Bunga Emas.\nSyed Husain Jamalullail merupakan anak kepada penghulu Arau yang pertama, iaitu Syed Harun Jamalullail. Hasil perkahwinannya dengan Wan Fatimah, anak kepada Dato\u2019 Johan, Menteri Kanan Tunku Dziauddin Raja Muda Kayang. Ibrahim Ismail (1987) telah menjelaskan dalam bukunya, Sejarah Kedah Sepintas Lalu bahawa Wan Fatimah merupakan isteru kedua Syed Harun.\nIsteri pertama Syed Harun, iaitu Tunku Sofiah (nama timangannya Tunku Tunjung) ialah puteri sulung Tunku Dziauddin dengan Wan Tam tidak memiliki anak. Oleh hal yang demikianlah, Tunku Sofiah membenarkan Syed Harun bin Syed Ahmad Jamalullail berkahwin lagi.\nPerkahwinan itu telah dikurniakan dua orang putera dan dua orang puteri. Mereka diberi nama Syed Husain, Syed Abdullah, Syarifah Aminah dan Syarifah Aisyah. Tunku Sofiah telah mengambil Syed Husain menjadi putera angkatnya, manakala Syed Harun dilantik oleh Tunku Dziaudin Mukarram Shah II menjadi penghulu Mukim Arau.\nMukim Arau terletak di bawah pemerintahan Tunku Dziaudin di Kota Kayang, sebuah kota yang dikorek tebing terusannya. Tunku Dziaudin menamakannya Kota Indera Kayangan. Apabila baginda mangkat pada tahun 1815, Almarhum dimakamkan di Langgar Kayang Kedua, Kampung Langgar yang terletak dalam Mukim Kayang (Ibrahim Ismail, 1987).\nPada tahun 1825, Syed Harun telah mangkat dan dimakamkan di Pemakaman Diraja, Arau. Setelah kemangkatan baginda, anaknya yang bernama Syed Husain Jamalullail telah menggantikannya. Maka itu, Syed Husain merupakan Penghulu kedua di Mukim Arau. Setelah Perlis dinaik taraf menjadi sebuah negeri, maka Syed Husain juga dilantik menjadi Gabenor. Jawatan yang disandang itu telah meluaskan kekuasaannya melebihi mukim sebelumnya.\nSyed Husain telah melalui tiga fasa sebagai penguasa, iaitu Penghulu Mukim Arau, Gabenor Negeri Perlis dan akhirnya raja yang berdaulat bagi negeri Perlis.\u00a0 Pengalaman inilah yang menjadikan Syed Husain Jamalullail apabila dimasyhurkan sebagai Raja Perlis oleh Raja Siam menyusun atur pentadbiran dengan mewujudkan mukim-mukim. Hal ini untuk memudahkan baginda mengurus tadbir negeri yang baru diperolehinya.\nSesuatu hal yang perlu ditekankan di sini adalah apabila Syed Husain Jamalullial dilantik menjadi Raja Negeri Perlis, maka bermulalah era pemerintahan keluarga Jamalullail sehingga sekarang.\nMaka itu, sejarah ini harus perlu diterokai dan didokumenkan buat tatapan generasi mendatang. Semua pihak bertanggungjawab memelihara sejarah yang ditinggalkan. Satu daripada cara kita memelihara sejarah adalah dengan menulis dan mendokumenkannya. Tanpa penulisan dan pendokumentasian, sesuatu sejarah itu akan terus hilang dimamah zaman." "Tempoh Pengecualian Pembayaran Fi Lesen bagi Penggiat Industri Pelancongan Dilanjutkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2212 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi kenyataan pada hari ini mengumumkan pelanjutan pengecualian pembayaran fi lesen bagi pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang dilesenkan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).\n\nMOTAC merupakan agensi kerajaan yang menguatkuasakan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) dan Peraturan-Peraturan yang berperanan melesenkan pengusaha pelancongan di bawah Seksyen 5 dan pemandu pelancong di bawah Seksyen 21.\nMenurut MOTAC, susulan pandemik COVID-19 yang melanda negara serta impak berterusan yang dihadapi oleh penggiat industri pelancongan, kementerian ini bersetuju melanjutkan pengecualian fi pembaharuan lesen dan lesen tambahan bagi pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang memohon pembaharuan lesen bermula dari 1 Januari 2022 hingga 30 Jun 2022.\n\nTambah MOTAC, \u201cKementerian ini juga akan melaksanakan pengecualian fi pembaharuan lesen dan lesen tambahan bagi pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang belum mendapat kelulusan pembaharuan lesen disebabkan oleh Pelan Pemulihan Negara (PPN).\u201d\n\u201cPengecualian fi pembaharuan lesen dan lesen tambahan juga akan diberikan kepada pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang telah mendapat keputusan pembaharuan lesen namun tidak dapat membuat bayaran fi lesen disebabkan oleh PPN,\u201d jelas MOTAC lagi.\nDengan pelaksanaan pelanjutan inisiatif ini, MOTAC berharap pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang layak mengambil peluang ini untuk membuat permohonan pembaharuan lesen dalam tempoh yang ditetapkan mengikut tarikh tamat lesen masing-masing bagi memastikan pengecualian ini dapat dinikmati.\nPengecualian fi pembaharuan lesen sehingga 30 Jun 2022 bakal memberikan manfaat kepada 2219 buah syarikat pengusaha pelancongan dengan jumlah keseluruhan RM1 646 100.00\n\u201cPihak MOTAC turut menyeru semua pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang terlibat untuk membuat pembaharuan lesen dalam tempoh yang ditetapkan bagi memastikan pematuhan kepada perundangan sedia ada,\u201d tambah MOTAC." "Perihal \u201cialah\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata ialah tergolong dalam subgolongan kata tugas, iaitu sebagai kata pemeri. Ada dua kata pemeri dalam bahasa Melayu, iaitu ialah dan adalah. Kata pemeri ialah berfungsi untuk merangkaikan subjek dengan predikat dalam keadaan persamaan atau ekuatif. Selain itu, kata pemeri ialah hadir di hadapan frasa nama. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a.\u00a0 Kata \u201ccantik\u201d ialah contoh kata adjektif.\n1b.\u00a0 Contoh kata adjektif ialah kata \u201ccantik\u201d.\nDalam ayat 1a, subjeknya ialah kata \u201ccantik\u201d dan predikatnya ialah \u201ccontoh kata adjektif\u201d. Struktur ayat tersebut ialah Frasa Nama + Frasa Nama. Jika subjek dan predikat ayat 1a diterbalikkan seperti dalam ayat 1b, maksud ayatnya masih sama.\nDalam penggunaan biasa bahasa Melayu, kehadiran kata pemeri \u201cialah\u201d dalam ayat bersifat opsyenal atau pilihan. Oleh itu, kita boleh meniadakan kata pemeri \u201cialah\u201d tanpa menjejaskan maksud ayat. Dengan adanya jeda dan intonasi yang betul, seseorang pendengar dapat mengesan kedudukan subjek dan predikat, dan memahami maksud ayat. Sila lihat contoh yang berikut:\n1c.\u00a0 Kata \u201ccantik\u201d contoh kata adjektif.\n1d.\u00a0 Contoh kata adjektif kata \u201ccantik\u201d.\nDalam bidang seperti sains dan undang-undang, ketepatan maksud sangat penting. Oleh itu, kata \u201cialah\u201d perlu ditambah untuk menjadi pemisah di antara subjek (perkara yang diterangkan) dengan predikat (huraian yang menerangkan). Hal ini berlaku demikian kerana sains bersifat objektif dan undang-undang memerlukan tafsiran yang tepat. Sila lihat contoh yang berikut:\n2a.\u00a0 Air ialah molekul yang terdiri daripada dua atom hidrogen dan satu atom\u00a0oksigen.\u00a0 (laras sains)\n2b.\u00a0 Jus soli ialah hak\u00a0kerakyatan yang sama rata, iaitu taraf\u00a0kerakyatan yang diberi berdasarkan tempat kelahiran tanpa mengira bangsa dan keturunan. (laras undang-undang)\nAda kalanya kata pemeri \u201cialah\u201d dapat hadir di hadapan frasa kerja tertentu. Frasa kerja tersebut harus mempunyai hubungan ekuatif antara subjek dengan predikat. Sila lihat contoh yang berikut:\n3a.\u00a0 Menyanyi ialah salah satu hobinya.\n3b.\u00a0 Salah satu hobinya ialah menyanyi.\nSekali imbas, ayat kelompok 3 seolah-olah salah kerana dalam ayat 3a, kata kerja menyanyi menjadi subjek ayat, dan dalam ayat 3b, kata pemeri ialah terletak di hadapan frasa kerja menyanyi. Namun begitu, sebenarnya ayat-ayat tersebut mengalami proses pengguguran atau elipsis inti frasa nama. Sila lihat contoh ayat lengkap seperti yang berikut:\n4a.\u00a0 Aktiviti menyanyi ialah salah satu hobinya.\n4b.\u00a0 Salah satu hobinya ialah aktiviti menyanyi.\nBerdasarkan kelompok ayat 4 di atas, kata nama yang menjadi inti frasa nama seperti kata aktiviti telah digugurkan. Contoh kata nama lain yang boleh digunakan ialah kegiatan. Oleh itu, ayat 3a dan 3b betul kerana pola ayat atau struktur dalamannya (deep structure)\u00a0 ialah Frasa Nama + Frasa Nama.\nWalau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, soal ekuatif tidak semestinya wujud dalam ayat yang menggunakan kata pemeri ialah. Kalau kita mengajukan soalan \u201cSiapakah Puan Salmah?\u201d kepada seseorang, jawapan yang mungkin kita terima \u00a0adalah seperti yang berikut:\n5a.\u00a0 Puan Salmah ialah guru sekolah itu.\n5b.\u00a0 Puan Salmah ialah guru Sejarah.\n5c.\u00a0 Puan Salmah ialah guru cemerlang.\n5d. Puan Salmah ialah anak Tuk Mat.\n5e.\u00a0 Puan Salmah ialah isteri Encik Ali.\nAdakah Kelompok ayat 5 di atas boleh kita terbalikkan susunan subjek dan predikatnya?\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\n6a.\u00a0 *Guru sekolah itu ialah Puan Salmah.\n6b.\u00a0 *Guru Sejarah ialah Puan Salmah.\n6c.\u00a0 *Guru cemerlang ialah Puan Salmah.\n6d. Anak Tuk Mat ialah Puan Salmah.\n6e. Isteri Encik Ali ialah Puan Salmah.\nAyat 6a kurang tepat kerana di sekolah yang berkenaan sudah tentu gurunya lebih daripada seorang. Ayat 6b dan 6c juga kurang tepat kerana guru Sejarah atau guru cemerlang yang berkhidmat di seluruh Malaysia atau di seluruh dunia sudah tentu bukan Puan Salmah seorang sahaja. Ayat 6d benar dan betul hanya jika Puan Salmah merupakan anak tunggal kepada Tuk Mat. Ayat 6e betul hanya jika Encik Ali mengamalkan monogami, iaitu isterinya Puan Salmah, dan tiada yang lain.\nApabila dianalisis, hubungan subjek dan predikat bagi ayat 5a, 5b dan 5c adalah seperti yang berikut:\nPuan Salmah\nDisebabkan subjek bagi ayat 5a, 5b dan 5c bersifat khusus, manakala predikatnya bersifat umum, kita tidak boleh menterbalikkan susunan subjek dan predikatnya. Pilihannya ialah kita menjadikan kedua-dua subjek dan predikat bersifat khusus. Sila lihat contoh yang berikut:\n7a.\u00a0 Puan Salmah ialah salah seorang guru sekolah itu.\n7b.\u00a0 Puan Salmah ialah salah seorang guru Sejarah.\n7c.\u00a0 Puan Salmah ialah salah seorang guru cemerlang.\n\u00a0\n8a.\u00a0 Puan Salmah ialah seorang daripada guru sekolah itu.\n8b.\u00a0 Puan Salmah ialah seorang daripada guru Sejarah.\n8c.\u00a0 Puan Salmah ialah seorang daripada guru cemerlang.\n\u00a0\nAyat kelompok 7 dan 8 mempunyai hubungan subjek dan predikat seperti yang berikut:\nSememangnya ayat kelompok 7 dan 8 yang mempunyai hubungan khusus \u2013 khusus antara subjek dengan predikat boleh diterbalikkan. Sila lihat contoh yang berikut:\nWalau bagaimanapun, ayat kelompok 5 lebih ekonomis dan sering digunakan oleh masyarakat kita. Yang perlu kita ingat hanyalah ayat-ayat tersebut tidak boleh kita terbalikkan susunan subjek dan predikatnya sesuka hati." "Projek Diraja Program Transformasi Kampung Seberang Ramai Terima Suntikan Dana RM50 Ribu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Projek Diraja Kampung Warna-warni Program Transformasi Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis menerima suntikan dana sebanyak RM50 ribu daripada syarikat Alme Niaga Sdn. Bhd. melalui Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.\nCek sumbangan CSR tersebut dipersembahkan oleh Ahli Jawatankuasa Pengurusan Wakaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Rizal Azizan yang mewakili syarikat berkenaan kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Pengerusi YTSP Perlis baru-baru ini.\nTurut dipersembahkan ialah sumbangan zakat syarikat tersebut melalui MAIPs dan sumbangan zakat peribadi Ahmad Alif S. Ahmad Sharifuddin.\nPada majlis tersebut, yang turut sama hadir ialah Ketua Hakim Syarie Negeri, Yang Amat Arif Ibrahim Deris dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.\n\u201cPelaksanaan tambahan proses mengecat lorong di jajaran luar yang dilaksanakan secara bersama-sama oleh MAIPs dan YTSP Perlis dengan kerjasama pelbagai agensi, pasukan keselamatan, institut pengajian tinggi dan juga pihak swasta untuk fasa lapan sudah pun disempurnakan,\u201c demikian menurut Tuanku Raja Muda Perlis.\n\u201cPelaksanaan \u2018Program Transformasi Komuniti\u2019 oleh MAIPs dan YTSP Perlis bagi mengecat bangunan-bangunan dengan warna kuning di Pekan Lama Arau juga sedang dalam tindakan dengan kerjasama beberapa NGO serta golongan asnaf dan kini sudah pun hampir selesai,\u201c tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra.\nBaru-baru ini, pihak SW Corp dengan kerjasama E-Idaman telah membekalkan tong sampah khas kepada wakil penduduk Kampung Hujung Tanjung sebagai projek rintis untuk dijaga dan diuruskan oleh penduduk yang diberikan tanggungjawab.\n\n\u00a0\nSementara itu, Jabatan Perhutanan Negeri pula telah menanam 33 batang pokok bunga tanjung di Kampung Seberang Ramai bersempena dengan kempen Penghijauan Malaysia bersama-sama penduduk kampung pada 16 Disember 2021 yang lalu.\n\nMenurut Mohd Rizal, inisiatif Kampung Warna-warni merupakan sentuhan DiRaja Perlis yang amat baik dan boleh dijadikan model untuk dikembangkan di tempat lain.\nMenutup titah, Tuanku Raja Muda Perlis menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu 2022 dan mendoakan kesejahteraan dan keselamatan kepada seluruh rakyat di negeri dan negara ini.\nBaginda berharap agar tahun ini akan menjadi tahun yang lebih baik berbanding dengan tahun yang terdahulu serta mendoakan mangsa-mangsa bencana banjir di negara ini akan terus tabah dan bangkit menghadapi dugaan ini." "Arkib Negara Malaysia Gerakkan Pasukan Tindakan Bencana Rekod\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia (MOTAC) menerusi agensinya, Arkib Negara Malaysia (ANM) menggerakkan Pasukan Tindakan Bencana Rekod bagi membantu pejabat kerajaan menyelamatkan dokumen yang terjejas akibat daripada bencana banjir yang melanda.\nMenurut MOTAC menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini, \u201cAntara langkah yang dijalankan adalah dengan memberikan khidmat nasihat bagi menyelamatkan rekod yang terlibat serta menjalankan kerja pemuliharaan rekod yang terjejas susulan banjir yang melanda.\u201d\nSemasa melakukan tinjauan menerusi OPS Penyelamatan Rekod Pasca Bencana di Pusat Pengurusan Rekod (RMC), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Datuk Wira Dr. Noor Zari Hamat berkata, \u201cTumpuan khusus diberikan kepada dua negeri yang terjejas teruk, iaitu Selangor dan Pahang.\u201d\nHingga kini, pihak ANM telah mengadakan lawatan khidmat nasihat dan bantuan pemuliharaan rekod yang terjejas dengan bencana banjir kepada lebih 50 jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC).\nMOTAC turut menjelaskan, \u201cAntara organisasi yang terkesan dengan bencana banjir pada kali ini ialah Jabatan Pertanian, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengaliran dan Saliran, Pejabat Kesihatan, Klinik Kesihatan, Hotel De Palma, PERKESO, TM Point, Bank Simpanan Nasional dan Amanah Saham Nasional Berhad.\u201d\nTambah MOTAC, \u201cJumlah rekod yang terlibat dalam bencana banjir dianggarkan melebihi 10 juta. Sebahagian besar daripada rekod ini masih boleh diselamatkan dengan menjalankan kerja pemuliharaan.\u201d\nProses penyelamatan dokumen dibuat melalui kaedah pengasingan, pembersihan, dan pengeringan dengan menggunakan peralatan tertentu serta bersesuaian dengan rekod yang terlibat dalam bencana banjir tersebut.\n\u201cAntara rekod yang telah dikenal pasti terjejas dalam bencana banjir pada kali termasuklah buku rekod peribadi pesakit, rekod kewangan dan perakaunan jabatan, buku perancangan pembelajaran guru, rekod permohonan kemasukan dan borang permohonan Pasport Malaysia, dokumen kontrak, tender, peta, pelan bangunan, mikrofilem dan filem X-ray,\u201d jelas MOTAC lagi.\nDalam pada itu, Datuk Wira Dr. Noor Zari turut menjelaskan, \u201cUsaha yang dijalankan oleh ANM ini dapat membantu pejabat kerajaan menyelamatkan rekod yang bernilai kepada negara. Hal ini penting bagi meneruskan operasi dan aktiviti selepas bencana banjir.\u201d\nYang turut hadir sama dalam tinjauan tersebut ialah Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Encik Jaafar Sidek Hj Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Pengurusan) JIM, YBhg. Dato\u2019 Zakaria Shaaban." "Sastera Lisan dari Kaca Mata Sasterawan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSastera lisan ialah cabang yang permai kepada sastera tradisional yang penting untuk dikaji, diteliti dan dihayati oleh generasi kini. Padanya terkandung kearifan, kebijakan serta ketinggian pemikiran leluhur kita, termasuklah renungan falsafah dan prinsip hidup manusia. Semua ini tergolong ke dalam kearifan tempatan (local knowledge) yang diwarisi sejak zaman-berzaman.\nDemikian jugalah bidang perubatan, pembuatan binaan kapal dan rumah serta pembuatan senjata \u2212 semuanya merujuk sastera lisan atau lebih luas dalam konteks tradisi lisan Melayu dan semua suku di negara ini.\nPada 26 Oktober 2021, Bahagian Penyelidikan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka telah menjalankan kunjungan mesra di teratak Sasterawan Negara, Profesor Muhammad Haji Salleh. Pertemuan itu bertujuan untuk mendapatkan sumbang saran, maklumat, dan nasihat berkaitan dengan kepentingan penyelidikan sastera lisan di Malaysia.\n\nApakah masih relevan kajian sastera lisan dilakukan pada zaman kini? \nPasti relevan, dan wajar kerana inilah khazanah yang harus dipertahankan. Setiap zaman yang mencipta tamadunnya pasti mengekalkan tradisi dan sasteranya. Semakin kita mendapatkan bahan sastera lisan yang baharu, atau sumber lisan yang autentik, pasti akan ada penemuan yang baharu, dan sering pula, menakjubkan. Misalnya, dalam naratif lisan, kita dapat mengesan pandangan alam masyarakatnya.\nPandangan alam (world view) itulah yang memperlihatkan kedalaman renungan manusia terhadap persekitarannya, yang alamiah yang menjadi juga ruang hidupnya.\nBersama-samanya terlihat juga kepandaian dan kepintaran orang dahulu menjalani kehidupan. Dalam ceritera sastera lisan ada tercatat sejarah tempatan dan tokoh atau ilmu yang lain sehingga dapat memberikan gambaran kecanggihan pemikiran mereka, serta cara mereka menyampaikannya kepada generasinya.\nAsal usul atau simbol penggunaan warna dalam setiap karya sastera lisan misalnya membuka suatu ruang yang boleh dibincangkan oleh generasi kita kini. Kenapa setiap warna diberikan perlambangan tertentu dan apakah makna warna tertentu dalam kehidupan? Hal inilah yang wajar diterokai pada masa kini.\n\u00a0\nApakah keistimewaan sastera lisan? Bukankah sastera lisan hanya dijadikan sebagai alat untuk hiburan pada masa dahulu?\nBenar. Sastera lisan seperti yang difahami secara umum adalah sebagai alat yang menghiburkan masyarakatnya kerana pada masa itu alat seperti radio, televisyen,\u00a0 dan kemudahan Internet masih belum wujud.\nWalaupun dikatakan sebagai alat hiburan, karya-karya ini juga berperanan sebagai bahan pendidikan orang tua-tua kepada anak-anaknya, serta pendengar umumnya.\nTujuannya adalah untuk mewariskan panduan dan pedoman dalam kehidupan mereka, secara tidak langsung. Misalnya, dalam seloka dan pantun adanya nasihat atau tunjuk ajar tentang sifat sabar, pemaaf, amanah, adab dan lain-lain.\n\u00a0\nBagaimanakah dengan skop kajian sastera lisan? Adakah meliputi di Semenanjung Malaysia, atau termasuk Sabah dan Sarawak? \nPada pandangan saya, skop kajian ini boleh digerakkan dalam skala yang lebih luas, iaitu seluruh Malaysia. Bukan hanya berfokuskan kepada sastera lisan orang Melayu tetapi meliputi keseluruhan bangsa, etnik, suku kaum, termasuk orang Asli serta Baba dan Nyonya yang ada di Malaysia.\nKita harus jelas tentang genre atau skop yang dipilih. Untuk puisi sahaja, perolehan bahan sahaja sudah cukup membanggakan sekiranya dapat digerakkan kerana hasil pengumpulannya memberikan manfaat dan rujukan kepada pelbagai pihak, terutamanya kepada para pengkaji sastera, budaya, sejarah, penggiat dan pelbagai bidang lainnya.\nBentuk puisi seperti pantun, gurindam, seloka, teromba, talibun, mantera atau bentuk prosa seperti mitos, legenda dan cerita rakyat sememangnya sudah ada kajian isi dan bentuknya oleh para sarjana. Cuma, pengumpulan prosa dan puisi tradisi khususnya dalam etnik dan suku kaum di Sabah, Sarawak serta masyarakat orang Asli masih belum mencukupi.\n\u00a0\nApakah cadangan Prof. tentang tajuk dan kaedah pelaksanaan kajian sastera lisan yang memungkinkan bakal dilaksanakan pada peringkat Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Bahagian Penyelidikan Sastera?\n\nBagi saya, tajuk yang sesuai ialah \u201cManusia, Alam dan Budaya Sastera Lisan\u201d.\n\u201cManusia\u201d merujuk penuturnya, penciptanya, dan penggunanya. Penuturnya bukan sekadar dalam kalangan orang biasa, tetapi dalam kalangan khusus seperti penglipur lara, tuk selampit dan awang batil/awang belanga. Kadangkala mereka juga berperanan sebagai pengubat untuk pelbagai jenis penyakit. Maka itu, mereka juga dikenali dengan gelaran bomoh, dukun dan pawang.\n\u201cAlam\u201d pula merujuk persekitaran alamiah dan buatan hidup mereka. Oleh itu, alam ini juga membawa maksud yang luas dan boleh berperanan sebagai perlambangan serta kiasan/ibarat dengan membawa makna yang pelbagai.\nSeterusnya ialah pengalaman yang pernah dilalui sehingga terhasilnya karya sama ada dalam bentuk prosa atau puisinya. Sesetengah karya yang tercipta juga terhasil daripada pengalaman peribadi yang pasti adanya pahit dan manisnya.\n\u201cBudaya\u201d pula ialah gaya hidup, pencapaian ilmu dan seni \u2212 tamadun dan peradaban masyarakat pencipta karya sastera lisan yang meliputi pelbagai bangsa, etnik dan agama. Padanya terjalin akal budi, falsafah serta kemajuan pemikiran masyarakat-masyarakat awal ini.\nSelain pengumpulan sumber dan bahan sastera lisan untuk didokumentasikan, perlu juga dibuat sesi pembentangan hasil dapatan oleh para pengkaji dan peneliti sastera. Pada pandangan saya, dua kategori pembentang yang boleh dicadangkan dalam sesi pembentangan ini. Pertama, hasil perolehan sastera lisan yang dibentangkan oleh para sarjana. Kedua, pembentang terdiri dalam kalangan orang bukan akademik, tetapi oleh penutur sastera lisan. Pembentangan mereka bukanlah bersifat kertas kajian, tetapi seni menuturkan cerita lisan yang diwarisi mereka.\nPertembungan kedua-dua pembentang/pengamal ini akan membuka ruang bagi masyarakat atau generasi kini untuk menilai peri pentingnya mempertahankan khazanah ini. Mereka yang menuturkan cerita bukan sekadar bercerita semata-mata, tetapi ada dalam kalangan mereka yang mahir menyanyi \u2013 membawakan lagu dan iramanya. Semuanya ini membentuk keindahan seninya dalam sastera lisan." "Yasser Promosikan Negeri Kelahiran Menerusi Senandung Anak Melaka\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Buloh\u00a0\u2013\u00a0Meskipun perwatakannya agak \u201cgila-gila\u201d serta dikenali sebagai penyanyi jenaka dan menggunakan nama pentas yang unik, iaitu Yasser Atakk, tetapi tidak bermakna anak kelahiran Melaka ini menolak untuk menyanyikan lagu biasa yang lebih bermanfaat.\nYasser Attak atau nama sebenarnya, Yasser Fikri Abu memang berbakat besar dan mampu menyampaikan lagu irama tradisional Melayu dengan begitu baik. Selain memiliki kebolehan tersebut, Yasser juga sebenarnya mahu menyahut cabaran daripada penyanyi dan penulis lirik terkenal, Siso Kopratasa, ataupun mendendangkan lagu irama sebagaimana ciptaan S. Atan dan Allahyarham Pak Ngah.\nSenandung Anak Melaka\u00a0lagu yang berbeza bagi Yasser. Dengan lirik oleh Siso, melodinya merupakan ciptaan komposer baharu, Fauzi Mohammad. Menurut Siso, beliau memilih tema pelancongan untuk menghiasi melodi, di samping mempromosikan Melaka sebagai kota pelancongan di Malaysia.\nBerpengalaman menyanyi selama kira-kira 14 tahun dan kerap terlibat dalam nyanyian lagu Dondang Sayang, serta persembahan tradisional Melayu dengan badan budaya bukan sahaja di Malaysia, malah Korea Selatan, Indonesia, dan Thailand, pemilihan Yasser sebagai penyanyi Senandung Anak Melaka\u00a0memang tepat.\nYasser bukan sahaja menyertai Festival Melayu Yala Changpuak Park, Yala, Thailand pada tahun 2020, beliau juga menyertai Festival Gendang Melayu Lubuklinggau, Indonesia (2016), persembahan Kebudayaan Antarabangsa, dan Festival Angseong Namsada Badiologi, Korea Selatan (2016), Bintang Klasik Kaseh (2016), Bintang P. Ramlee (2010), dan Bintang Asli Kebangsaan (2008), malah merupakan juara pertandingan Dondang Sayang pada tahun 2017, 2019 dan 2020.\nLebih istimewa, Yasser juga mampu menulis lirik. Kecenderungannya memparodikan lagu-lagu tertentu menjadikannya terkenal dalam kalangan peminat seni yang sering melayari YouTube.\nSlogan\u00a0lagu\u00a0Senandung Anak Melaka ini ialah Melaka sebagai \u201cKota Pelancongan Negeri Selat\u201d. Lagu ini juga merupakan percubaan Siso mengimbau kembali kegemilangan Melaka yang dahulu disebut \u201cVanice Timur\u201d yang amat dikagumi para pedagang Barat.\nSenandung Anak Melaka merupakan kolaborasi sulung Fauzi dengan Siso. Jelas Fauzi, beliau menjadikan Pak Ngah dan S. Atan sebagai idola, serta inspirasi dalam mencipta karya yang berteraskan irama Melayu tradisional.\nTambah Fauzi, beliau memperoleh idea untuk melodi\u00a0Senandung Anak Melaka selepas selesai merakamkan lagu tema untuk sebuah pementasan teater di Melaka. Lirik\u00a0Senandung Anak Melaka banyak mengupas keindahan dan kelebihan yang ada di Melaka untuk dinikmati para pelancong seperti tempat riadah menarik, inap desa yang indah, dan makanan tradisi. Lagu ini juga cuba meletakkan Melaka sebagai \u201cKota Pelancongan di Negeri Selat\u201c yang mesti dikunjungi.\nTegas Siso, \u2018Kota Pelancongan Negeri Selat\u2019 bukan angan-angan kosong, tetapi kenyataan yang mesti diakui semua anak Melaka, dan semua rakyat Malaysia.\nSebagai tanda pengenalan\u00a0Senandung Anak Melaka\u00a0kepada masyarakat umum, dan rakyat Melaka khususnya, pihak produksi turut menghasilkan sebuah klip videonya yang menjalani penggambaran di sekitar bandar raya Melaka. Klip tersebut telah dilancarkan pada 29 Oktober 2021 lalu di saluran\u00a0Youtube Luncai Emas Sdn. Bhd., dan audio rasminya boleh didengari di semua saluran digital.\nSudah tentulah Siso berharap lagu nyanyian Yasser dan melodi oleh Fauzi yang juga anak jati Melaka ini menjadi \u201clagu wajib\u201d untuk menarik pelancong ke Melaka. Pengedarannya dilakukan oleh Luncai Emas secara jualan digital di platform penstriman, YouTube dan iTunes." "Tahun 2021: Perginya Seniman yang Berjasa kepada Khazanah Seni Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTahun 2021 berlalu dengan meninggalkan pelbagai kesan dan kenangan kepada dunia seni tanah air. Industri seni tanah air masih bergelut dengan gelombang pandemik COVID-19 \u2212 pandemik yang hampir melumpuhkan kegiatan kesenian di seluruh dunia. Dunia seni tetap perlu bergerak untuk menghidupkan industri seni khususnya di negara ini dalam pendekatan norma baharu dan kebiasaan baharu.\nDalam kemuraman dunia seni kreatif tanah air yang terbeban dengan gelombang pandemik, kita juga sebenarnya menangisi kehilangan tokoh seniman dan penggiat seni yang meninggalkan kita pada tahun lepas.\nKehilangan yang sukar diganti dan yang pastinya turut memberikan kesan yang bukan sedikit kepada dunia seni kreatif negara.\nMereka ialah seniman tersohor negara yang sekian lama bersama-sama kita, memberikan kita sebahagian erti kehidupan melalui sumbangan seni dan kreativiti mereka. Kita bukan sahaja senang dan terhibur dengan mereka tetapi kita turut hidup dan membesar dengan karya-karya mereka.Dalam tulisan ini, kita mengenang kembali sejumlah karyawan seni yang meninggalkan kita pada tahun 2021.\nBerita yang tidak terduga dalam dunia seni tanah air itu bermula pada 3 Februari 2021 apabila kita dikejutkan dengan berita pemergian pelawak terkenal, Datuk Jamali Shadat. Bakat dan keupayaan Jamali Shadat sebagai pelawak yang berdiri di hadapan penonton atau stand-up comedian mula dikenali setelah memenangi Pertandingan Bakat TV 1971.\nBeliau berkebolehan melakukan lawak ventrilokisme, iaitu mampu meniru suara rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum.\nJamali dikenali dengan watak Atan, kanak-kanak nakal tetapi bijak bersama-sama Atuknya yang dimainkan oleh pelawak Hamid Gurkha. Jamali dan Hamid Gurkha menjadi pasangan pelawak yang cukup terkenal pada era 1970-an bersama dengan satu lagi pasangan pelawak terkenal, iaitu A.R. Badul dan R. Jaafar.\nMelalui persembahan lawak jenakanya, Jamali Shadat dan Hamid Gurkha membawa jenaka tentang kehidupan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum secara cukup bersahaja. Sememangnya Jamali sedari awal persembahan lawak jenakanya sentiasa mengangkat tema dan cerita tentang keharmonian kaum di negara ini.\nPada tahun lepas juga, kita dikejutkan dengan berita pemergian pelakon drama terkenal, Abu Bakar Omar. Pelakon ini terkenal kerana keupayaannya membawakan watak dengan cukup berkesan, sama ada di atas pentas teater atau dalam drama televisyen dan filem. Kehebatan Abu Bakar Omar sebagai pelakon teater diakui oleh Sasterawan Negara, Datuk Noordin Hassan dan Abu Bakar adalah antara pelakon yang sentiasa ada dalam teater-teater arahan Noordin.\nAbu Bakar Omar mula terlibat dalam drama televisyen pada tahun 1980 dengan drama pertamanya, Penari terbitan RTM. Sejak itu, Abu Bakar berlakon dalam puluhan drama televisyen dan filem.\nKehebatan lakonan Abu Bakar terserlah apabila beliau memenangi Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Sri Angkasa melalui drama TV Senja Belum Berakhir (1983) dan kemudian sebagai Pelakon Terbaik dalam drama radio Bukan kerana Kasih (1990). Beliau menang lagi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam Drama TV Bila Kompang Berbunyi (2001). Abu Bakar turut memenangi Pelakon Lelaki Terbaik dalam Anugerah Skrin melalui drama Gincu Ayah (2012) dan Pelakon Pembantu Terbaik melalui drama Mata Hati (1999).\nSelain terkenal sebagai pelakon drama televisyen khususnya pada dekad 1980-an hingga 2000-an, Abu Bakar turut berlakon sebagai Jusuh dalam filem pertamanya, Tsu-Feh Sofiah (1981) arahan Rahim Razali. Selepas itu, kekuatan lakonannya terserlah dalam sejumlah filem, antaranya, Bila Hati Telah Retak, Rahsia, Fenomena, Hingga Hujung Nyawa dan dua filem terakhirnya, Anak Jantan dan Mana Mau Lari? (2014). Abu Bakar Omar meninggalkan kita pada 16 April 2021.\nGenerasi baharu mungkin ada yang tidak mengenali pelakon ini jika disebut nama Tawil atau nama sebenarnya, Abu Bakar Ahmad. Namun demikian, nama Tawil sebagai pelakon drama dan filem cukup terkenal sekitar dekad 1970-an.\nBiarpun Tawil lebih terkenal sebagai pelakon pembantu, namun beliau telah terlibat dalam ratusan drama sama ada di pentas bangsawan, teater, drama televisyen dan filem.\nTawil mula bergiat di pentas teater dan bangsawan pada tahun 1971 seangkatan dengan pelakon drama terkenaal Razali Buyong, dan seterus itu banyak terlibat dalam drama-drama Potret Pekerti dan Drama Minggu Ini terbitan RTM.\nSebagai pelakon filem, Tawil bermula dengan filem Prebet Lapok (1979) arahan Aziz Sattar, lakonannya bersama-sama A.R. Badul. Sebagai pelakon sama ada drama TV atau filem, Tawil lebih diingati dengan watak-watak komedi. Watak komedi yang dilakonkannya cukup bersahaja dan beliau selalunya berlakon bersama-sama A.R. Badul.\nAntara filem lakonannya yang berjaya menyerlahkan keupayaanya ialah filem Darah Satria, Setinggan, Da Di Du, Serampang Tiga dan Penyamun Tarbus. Drama televisyen terakhir lakonan beliau ialah Taubat Seorang Samseng (2013). Selepas itu, nama Tawil seakan-akan senyap dari arena drama TV dan filem. Beliau meninggal dunia pada 23 Julai 2021.\nTahun 2021 juga menyaksikan kita kehilangan seorang pelakon terkenal, iaitu Baharuddin Haji Omar atau lebih dikenali sebagai Anjang Aki. Sungguhpun Anjang Aki pada asalnya seorang anggota tentera, tetapi jiwa seninya telah membawa beliau ke dunia drama dan filem. Beliau mula bergiat dengan drama pentas sekitar tahun 1950-an. Apabila negara memulakan siaran televisyen (RTM) pada tahun 1963, Baharuddin mula berjinak-jinak dengan drama televisyen. Antara dramanya yang terawal ialah Tanah Pusaka (1967), Perajurit Pulang (1968) dan selepas itu, beliau banyak berlakon dalam slot drama Potret Pekerti dan Drama Minggu Ini, iaitu drama yang semuanya diterbitkan oleh RTM.\nNamun begitu, drama yang benar-benar mengangkat nama beliau ialah drama Anjang Aki. Dalam drama ini, Baharuddin memegang watak seorang lelaki tua yang dipanggil Anjang Aki yang saban petang berada di pengkalan perahu tambang di Perak menunggu kepulangan anak lelakinya, seorang pegawai dari kota (lakonan Ismail Hudson). Sungguhpun dia seakan-akan dipinggirkan oleh orang kampung kecuali seorang gadis bernama Odah (lakonan Dian P. Ramlee) yang selalu mengambil berat tentang dirinya, namun Anjang Aki tetap yakin bahawa anaknya akan pulang. Keberkesanan lakonan beliau memegang watak seorang tua yang terpinggir dan sensitif dengan loghat Peraknya yang tebal menjadikan drama itu sukar dilupakan.\nDrama Anjang Aki pernah menjadi fenomena drama TV di negara ini dan sejak itu, Baharuddin sinomim dengan nama Anjang Aki.\nDrama Anjang Aki diterbitkan dalam enam siri dan diarahkan oleh Abdul Aziz Abbas, pada asalnya merupakan sebuah drama pentas berjudul Penantian karya Al-Taha atau Abdul Talib Hassan, seorang penulis dari Perak. Drama Penantian adalah antara drama yang memenangi pertandingan penulis drama pentas anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Abdul Aziz Abbas yang menjadi panel penilai pertandingan ketika itu merasakan bahawa drama Penantian itu cukup menarik jika dapat diadaptasikan kepada drama televisyen.\nSelain banyak terlibat dengan drama televisyen, Baharuddin Haji Omar turut berlakon filem. Antara filem lakonannya ialah Pertentangan, Ribut Barat, Dia Ibuku, Abang, Ali Setan II, Irisan-Irisan Hati dan Kisah Seorang Biduan. Selain berlakon drama dan filem, Baharuddin Haji Omar juga aktif dalam persatuan yang membela kebajikan artis tanah air. Beliau pernah menjadi Presiden SENIMAN selama tiga penggal, dan pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga FINAS serta pernah menjadi Ahli Lembaga Penapis Filem (LPF) Malaysia.\nMereka karyawan yang sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap kreativiti seni mereka. Melalui karya-karya mereka itulah, mereka menghiburkan, mengingatkan dan menyedarkan kita tentang ombak realiti kehidupan yang penuh cabaran dan pelbagai kemungkinan." "Teater Amal \u201cSo You Got Script?\u201d Bakal Memecah Dinding antara Penonton dengan Dramatis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Sebuah projek kolaborasi antara lima produksi teater indie, iaitu Asterik Anak Seni (Asterik Anak Seni), CTR Project (theCTRproject), Parallact Art (Parallact Art), Rumah Lakon (Rumah Lakon) dan Anomalist Production (Anomalist Production) akan menemui khalayak awam pada hujung minggu ini. Penghebahan sebuah teater interaktif dengan julukan \u201cSo You Got Script?\u201c, mula dikeluarkan dan dihebahkan di sosial media dan halaman internet milik lima produksi ini, sejak minggu lepas.\nKolaborasi ini diusahakan untuk mengumpul dana sumbangan bagi membantu mereka daripada kalangan penggiat artis dan kesenian yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini.\nSetakat 11 Januari 2022, sejumlah video cuitan (teaser) telah dikeluarkan oleh pihak produksi, yang menggambarkan para dramatis teater tempatan, iaitu Alif Adzham, Qie Rahman, Surnia Fizul, Sara Sulaiman dan Jimi Hud membaca skrip-skrip drama dengan pelbagai adegan tersendiri.\nTeater interaktif arahan bersama Aliff Adzham, Erry, Din Mawar, Bob Ammirul, Jimi Hud dan Akmal Sulaiman ini bakal menemui khalayak awam bermula pada 13 Januari hingga 15 Januari 2022 dengan empat jumlah pementasan. Teater ini akan dipentaskan di Studio Asterik Anak Seni, Petaling Jaya.\nWakil daripada Asterik Anak Seni juga sempat berkongsi bersama sidang editor Dewan Budaya berkenaan pementasan teater interaktif mereka itu yang merupakan sebuah teater berskrip dan susunan baharu.\n\u201cPerjalanan satu pementasan itu, bermula dengan sebuah naskhah,\u201d Ahmad Huzaifah, menceritakan serba dua perihal pementasan unik mereka untuk minggu ini. Menurutnya, unsur naskhah itu sendiri akan bermain peranan penting dalam teater \u201cSo You Got Script?\u201c\n\u201cKita mahu laksanakan sebuah teater interaktif, berkait dengan perjalanan pembacaan skrip.\u201d Tambah beliau lagi, beberapa skrip drama sebenar akan dijadikan pendorong plot bagi teater interaktif itu.\nKarya-karya pilihan daripada Alif Adzham, pengasas bersama Asterik Anak Seni; dan Azwan Azhari, akan menemui penonton \u201cSo You Got Script?\u201c dengan cara yang tersendiri.\nBagaimana rupanya teater ini menemui penonton? Pihak produksi dengan penuh teruja mengajak khalayak untuk sertai pementasan berkenaan dan ambil pengalaman.\nMenurut Ahmad, sebagai projek amal, produksi itu menuntut sebuah projek teater yang memerlukannya untuk memihak pada mereka dari segi keterbatasan daya, masa, kerja dan kos yang terhad. Hal ini dikatakan demikian kerana sasaran utama rumah-rumah produksi indie ini adalah untuk meringankan beban dan bencana yang telah menimpa rakan-rakan penggiat kesenian indie yang terlibat musibah banjir di sebahagian negara Malaysia, baru-baru ini.\nBagi artis-artis penggiat seni yang turut terlibat sama dalam musibah banjir berkenaan, walaupun jika kawasan yang sudah surut airnya, kos-kos pascabanjir masih diperlukan untuk mereka membina semula daripada awal, mahupun kosong.\n\u201cKeseluruhan sumbangan yang kami terima hasil daripada projek ini (penempahan slot dan sumbangan langsung), 100 peratus akan disalurkan untuk bantuan mangsa banjir dalam kalangan penggiat seni teater indie,\u201d ujar Asterik Anak Seni.\nOleh sebab itu, projek teater interaktif ini menjadi pilihan. Mereka juga yakin dengan khalayak awam khususnya yang ingin menjelajah dengan lebih dalam tentang selok-belok dunia seni teater, akan menghargai pementasan ini.\nSumbangan minimum untuk tempahan slot pementasan boleh dibuat bermula pada RM10. Namun demikian, pihak Asterik Anak Seni mengalu-alukan khalayak awam dan marhaen yang ingin turut menghulur sumbangan. Maklumat lanjut untuk menempah slot atau menyalurkan sumbangan boleh dirujuk di sini atau di sini." "Tan Sri Abdul Latiff Abu Bakar Terima Anugerah Tokoh Kepimpinan Peradaban Warisan JAIM\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBukit Katil \u2012 Pengerusi Majlis Penasihat Warisan Peradaban Melayu Lembaga Bahasa Melayu, YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Abdul Latiff Abu Bakar dikurniakan Anugerah Tokoh Kepimpinan Peradaban Warisan daripada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM). Anugerah tersebut disampaikan pada \u201cMajlis Amanat YAB Ketua Menteri Melaka Bersama Warga JAIM\u201c yang diadakan di Bayou Lagoon Convention Centre, Bukit Katil, Melaka, malam ini.\nMenurut Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Wira Haji Md. Rawi Mahmud menerusi ucapan perasmian majlis tersebut, beliau berkata, \u201cAnugerah Tokoh Kepimpinan Peradaban Warisan Melayu ini dilihat sesuai dengan tema majlis, iaitu \u2018Mendahului Perubahan, Memimpin Peradaban\u2019.\u201d Anugerah khas ini bertujuan untuk mengiktiraf sumbangan yang diberikan oleh tokoh pejuang peradaban Melayu dalam usaha memartabatkan dan mewarisi perjuangan peradaban Melayu di negara ini, khususnya di Melaka.\nKetika diwawancara oleh sidang editorial Dewan Budaya, YBhg. Tan Sri Abdul Latiff berkata, \u201cSaya bersyukur dan gembira, ini satu penghormatan daripada JAIM yang mengiktiraf perjuangan saya mewarisi peradaban Melayu. Sumbangan ini penting, lebih-lebih lagi saya lihat apabila saya menjadi Ahli Majlis Agama Islam Melaka dan penasihat kepada JAIM, saya tetap tegaskan bahawa \u2018Islam tetap dijunjung sebagai agama kita, manakala adat dan warisan Melayu dikendong\u2019.\u201d\nJadi, apa-apa adat dan warisan Melayu yang tidak bertentangan dengan syariat agama \u2012 beradab, bersopan dan berkeperibadian tinggi, kita ceriakan hidup dengan mengamalkan kebudayaan dan warisan masing-masing; dan khususnya bagi umat Islam, amalkanlah adat dan budaya yang tidak bertentangan dengan syariat Islam.\n\u201cBanyak amalan, budaya dan pakaian yang terdapat dalam kebudayaan Melayu. Sebagai contohnya, pemakaian tanjak, baju Melayu dan busana warisan amat sinonim sebagai pakaian kebudayaan Melayu. Pada malam ini, saya gembira apabila ustaz dan alim ulama kita turut memakai busana Melayu yang menepati syariat Islam,\u201d tambah beliau.\nMenurut YBhg. Tan Sri Abdul Latiff lagi, \u201cApa-apa yang penting ialah kita mengamalkan agama dan ajaran Islam. Islam tetap dijunjung, adat dan warisan Melayu tetap dikendong dan dijaga dengan baik.\u201d\nSaya bersyukur atas pengurniaan anugerah ini. Anugerah ini menaikkan semangat saya untuk berjuang, terus berjuang memperkasakan adat warisan Melayu.\nAdat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah yang selama ini kita amalkan, kita laksanakan supaya anak generasi pewaris kita mempunyai kekuatan jati diri yang tinggi berteraskan adat Islam serta mewarisi adat dan peradaban bangsa Melayu.\nPada majlis tersebut juga, Datuk Wira Haji Md. Rawi yang mewakili YAB Datuk Seri Utama (Dr.) Sulaiman Md Ali menyampaikan ucapan penghargaan dan syabas kepada warga kerja JAIM atas komitmen yang diberikan dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah, ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam perkhidmatan.\nBerdasarkan ayat suci al-Quran daripada Surah al-Taubah, ayat 105, mafhum kepada firman Allah SWT ini, kita diseru supaya bekerja dengan bersungguh-sungguh, tekun serta penuh tanggungjawab kerana segala amal pekerjaan kita nanti akan dihitung dan dihisab oleh Allah Yang Maha Mengetahui segala yang nyata mahupun yang tersembunyi, terhadap apa-apa yang telah kita kerjakan.\nPada majlis tersebut, turut diadakan pelancaran buku Kumpulan Manual Pengurusan Jabatan Agama Islam Melaka.\nAntara yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Zaidi Johari, Pengarah JAIM, Dato\u2019 Che Sukri Che Mat, serta kakitangan JAIM." "Nikmati Juadah ini Jika Berkunjung ke Kuala Kangsar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJuadah tradisional Melayu, Baba Nyonya, Cina, India, serta Sabah dan Sarawak mencipta keunikan dalam kepelbagaian makanan di Malaysia. Kelainan rasa dan rupanya memikat hati sesiapa sahaja yang melihat.\nJuadah tradisional Malaysia telah dihasilkan sejak turun-temurun. Pada hari ini, juadah tersebut boleh dinikmati oleh setiap lapisan rakyat. Bahan-bahan yang digunakan untuk membuat juadah tradisional 100 peratus daripada sumber alam semula jadi seperti daun kelapa, santan kelapa, beras, pulut, pisang dan daun pisang tanpa pewarna tiruan seperti bahan untuk menghasilkan kuih moden. Justeru, keenakan juadah moden gagal menandingi juadah tradisional yang memiliki kelazatan dan rupa yang tersendiri.\nAda juadah tradisional manis, berlemak, padat, pedas, dan berbau wangi. Sebahagian besarnya dikukus, dibakar dan dipanggang yang diperbuat daripada bahan tempatan seperti beras, tepung ubi, tepung beras, tepung gandum, tepung pulut, tepung jagung, gula Melaka, dan pewarna semula jadi seperti bunga telang.\nNegeri kedua terbesar di Semenanjung Malaysia, iaitu Perak bukan sahaja masyhur dengan pelbagai loghat/dialek percakapan warganya, malah terkenal kerana memiliki juadah lazat yang tiada di negeri lain. Juadah yang terkenal di beberapa tempat di Perak bertujuan untuk mengekalkan identiti sesebuah tempat tersebut.\n\u00a0\n1. Kuih Kundas\nAntara tempat terkenal yang menjadi tumpuan orang ramai, dan sebagai destinasi pelancongan ialah Karai, di Kuala Kangsar. Karai memberikan para pelancong pengalaman merasai kuih kundas yang sukar didapati di tempat lain. Meskipun ada dijual di bandar Kuala Kangsar, tetapi kebanyakan penggemar kuih kundas mengatakan rasanya tidak sama dengan yang di Karai.\nDi pekan Karai, satu daripada dua buah premis makanan yang menjual kundas ialah Gerai Abdul [email\u00a0protected] Hamzah Karai sejak lebih 30 tahun lalu. Menurut pengusahanya, Kasim Abdul Aziz, berusia 46 tahun, dia mengambil alih menjalankan perniagaan di Gerai Abdul [email\u00a0protected] Hamzah Karai sejak tahun 2005. Perniagaan tersebut bermula daripada hasil usaha Syed Ali Ibrahim, datuk Kasim sendiri dari Kerala, India pada tahun 1970.\nJelas Kasim, kundas merupakan juadah utama di gerainya, dan sentiasa menjadi pilihan pelanggan. Nama kuih tradisi ini berasal daripada bahasa Malbari yang bererti \u201cramai dan sasa seperti samseng\u201d. Menurut Kasim, dia menjalankan perniagaan setiap hari, kecuali hari Jumaat dari jam 5.30 pagi hingga 12.30 tengah hari. Jelasnya, dia dan pekerja menyediakan kundas sebelum waktu perniagaan bermula. Masa yang diambil untuk menggoreng kundas menurutnya ialah lima minit sahaja bagi setiap biji.\nAntara bahan yang diperlukan untuk menghasilkan kundas, kata Kasim ialah yis Mauripan, tepung gandum, gula, garam, pewarna kuning telur (yang dibeli), soda, ibu roti dan minyak masak.\n\u201cPada hari perayaan tertentu, kami menghabiskan dua guni (25 kilogram) tepung gandum. Semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri pula, sebanyak empat guni tepung gandum dihabiskan,\u201d ujar Kassim yang dibantu oleh tujuh orang pekerja.\nUntuk menambahkan keenakan menikmati kundas, para penggemar boleh meminta sama ada kuah kacang, parpu atau manis sebagai bahan cicah. Antara bahan untuk penghasilan kuah manis, jelas Kasim, ialah gula, kacang tanah, dan belacan. Katanya, kuah untuk kundas boleh bertahan selama dua hari jika disimpan di dalam peti sejuk.\nTegas Kassim, dia akan terus menjalankan perniagaan kundas selagi terdaya. Antara usaha membina legasi dan kesinambungan, dia pernah membimbing mereka yang berminat, termasuk dari agensi kerajaan, malah pernah muncul di kaca televisyen dalam sesebuah rancangan yang relevan.\nMengenai inovasi atau percubaan menghasilkan rasa baharu bagi kundas, Kasim menegaskan rasa atau perisa kundas tidak boleh diubah. Tidak sesuai, katanya kundas dieksperimentasi kepada rasa lain. Jika dilakukan, dikhuatiri penggemarnya tidak berminat.\nBukan sahaja orang Melayu, kundas turut digemari oleh bangsa lain tanpa mengira agama dan ideologi politik.\n\u00a0\n2. Putu Cawan\nKuih tradisi lain yang turut digemari sebagai juadah bersarapan ialah putu cawan. Fatimah Tambi, 72 tahun, yang berasal dari Kampung Sayong Lembah, merupakan pengasas kuih tersebut. Dia yang lebih mesra dengan panggilan Kak Timah menghasilkan putu cawan sejak beberapa dekad lalu. Walau bagaimanapun, kini Kak Timah lebih banyak berehat dan legasi putu cawan diteruskan oleh anak saudaranya, Norhani Jaafar.\nMenurut Norhani, 57 tahun, atau lebih dikenali sebagai Yong, tiada siapa-siapa yang memaksa dia menyambung penghasilan putu cawan ibu saudaranya itu. Oleh sebab minat yang mendalam, jelas Yong, dia sanggup belajar daripada Kak Timah.\nMenurut Yong, putu cawan dihasilkan setiap hari kecuali sepanjang Ramadan, dan semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri serta Aidiladha. Pada masa tersebut, kata Yong, dia menghasilkan kuih limas. Putu Cawan Kak Timah atau kini dikenali sebagai Putu Cawan Yong dijual di bandar Kuala Kangsar (berhampiran Terminal Bas Kuala Kangsar), dan di bangunan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).\nPenghasilan putu cawan memerlukan bahan-bahan seperti beras pulut, beras biasa, gula, kelapa parut, dan garam. Jumlah putu cawan yang dihasilkan, menurut Yong, bergantung pada keadaan. Namun begitu, pada kebiasaannya, menurut Yong, dia mampu menghasilkan 400 biji putu cawan setiap hari. Bagi setiap sebiji, jelasnya, dia mengambil masa beberapa saat sahaja. Dijual dengan harga RM0.50 sebiji, kata Yong, putu cawannya diambil oleh peniaga sebelum pukul 6.45 pagi setiap hari di rumahnya untuk dijual di tempat yang disebutkan tadi.\nSelain jualan secara konvensional, menurut Yong, dia turut menerima tempahan daripada pelanggan di pelbagai tempat, bukan sahaja dari luar negeri seperti Kuala Lumpur dan Pahang, malah dari luar negara seperti Perancis (Paris), dan England (London).\nDemi penghasilan putu cawan yang enak dan asli rasanya, jelas Yong, dia menggunakan lesung kaki klasik berusia lebih 60 tahun yang diperbuat daripada kayu cengal. Peralatan tersebut digunakan untuk menghaluskan tepung pulut dan tepung beras. Kata Yong, dia tidak menggunakan mesin moden kerana lesung kaki lebih baik. Tepung-tepung itu ditumbuk mulai jam 5.00 petang, manakala semua bahan yang telah siap, dikukus mulai pukul 4.00 pagi. Putu cawan dikukus dengan alat yang mempunyai tiga lubang pada bahagian atas dengan menggunakan dapur gas, berbanding dahulunya dapur minyak tanah. Sebenarnya, penghasilan putu cawan, tambah Yong, agak rumit, dan cerewet.\n\u201cWalau bagaimanapun, yang penting ialah tepung beras melebihi tepung pulut. Proses mengukus juga tidak boleh melebihi masa yang ditentukan,\u201d kata Yong yang menjalankan perniagaan dengan modal sendiri.\nPutu cawan bukan sahaja digemari oleh orang Melayu, tetapi India dan Cina juga. Tambah Yong, putu cawan mampu bertahan selama sebulan, dan boleh dikukus semula jika disimpan di dalam peti sejuk.\n\u00a0\n3. Nasi Lemuni\nNasi lemuni pula merupakan makanan yang berkhasiat kerana ada ulam lemuni. Ulam-ulaman merupakan awet muda bagi tubuh badan kita. Sesiapa pun boleh mengambil nasi lemuni kerana khasiatnya, terutamanya bagi ibu yang sedang berpantang selepas melahirkan anak.\nAntara bahan untuk menghasilkan nasi lemuni termasuklah pucuk lemuni, beras, santan (pati dan air), bawang merah, bawang putih, halia, serai, daun pandan, halba, daun kari, jintan kasar, kulit kayu manis, bunga lawang, sedikit daun delima, dan garam secukup rasa.\nCara memasak nasi lemuni bermula dengan menghaluskan pucuk lemuni. Jika dahulu nasi ini dihasilkan dengan cara menumbuk dengan lesung batu, tetapi sekarang menggunakan pengisar elektrik.\nJangan bubuh air jika menggunakan lesung. Air ditambah jika menggunakan pengisar elektrik. Setelah dikisar (pengisar elektrik), tapis dan ambil air lemuni sahaja.\nBahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan nasi lemuni ialah bawang merah, bawang putih, halia, serai, daun pandan, halba, daun kari, dan sedikit daun delima dipotong halus. Jintan kasar, kulit kayu manis, dan bunga lawang dimasukkan ke dalam periuk bersama-sama beras dan bahan-bahan tadi. Kemudian, masukkan air lemuni. Kuantiti air bergantung pada kebiasaan mereka yang memasak. Nasi lemuni akan masak dalam masa 15 minit hingga setengah jam. Selain kosong, nasi lemuni boleh dihidangkan dengan ayam masak merah atau seperti ramuan nasi lemak." "MOTAC dan KKM Kaji Hala Tuju Industri Pelancongan Umrah Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Yang Berhormat (YB) Dato\u2019 Sri Nancy Shukri dan Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaludin mengadakan sesi libat urus bersama-sama Persatuan Industri Pelancongan (UMRAH) bagi mendapatkan maklum balas berhubung dengan hala tuju pelancongan umrah susulan keputusan penangguhan sementara yang sedang berkuat kuasa, semalam.\nTerdahulu, YB Khairy dalam sidang media yang diadakan telah memutuskan untuk menangguhkan sementara perjalanan umrah bagi tempoh sebulan, berkuat kuasa pada 8 Januari lalu untuk memberikan laluan kepada proses penilaian risiko dan penelitian terhadap prosedur operasi standard (SOP).\nSesi libat urus ini turut dihadiri oleh wakil-wakil agensi persekutuan seperti Agensi Pengurusan Bencana (NADMA), Jabatan Imigresen Malaysia, Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputra Malaysia (BUMITRA), Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH) dan The Malaysia Association of Tour and Travel Agents (MATTA), selain ahli pengurusan tertinggi kedua-dua kementerian.\nMenurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), kedua-dua menteri dalam sesi libat urus ini telah menyatakan komitmen untuk memperhalusi isu yang telah dikemukakan oleh pemain industri pelancongan umrah seperti SOP pelaksanaan umrah, bayaran balik dan penjadualan semula penerbangan, perlindungan insurans, bantuan pemulihan kepada industri pelancongan, serta garis masa pembukaan semula perjalanan pelancongan umrah dan mengemukakan cadangan penambahbaikan dalam Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 yang akan datang.\nYB Khairy dalam kenyataan media di Parlimen awal Januari lalu menyatakan bahawa kerajaan pasti akan membuka semula perjalanan umrah tetapi dalam keadaan yang lebih selamat kerana baru-baru ini, kes jangkitan COVID-19 terutamanya varian Omicron telah menular dan sekali gus telah meningkatkan angka jangkitan virus itu.\nBeliau juga berkata, \u201cAntara langkah kemas kini SOP umrah yang akan dilakukan ialah menggariskan pengambilan dos penggalak sebagai syarat keperluan jemaah umrah, pengurusan kes dan kontak rapat di Arab Saudi serta pemantauan status kesihatan jemaah di negara berkenaan.\u201d\nBeliau menegaskan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mengamalkan dasar pilih kasih di sebalik keputusan penangguhan tersebut, namun keputusan itu diambil berdasarkan fakta dan pemerhatian semasa bagi jumlah kes COVID-19.\nYB Khairy turut mengumumkan bahawa tanggungjawab agensi pelancongan atau ejen pengendali pakej umrah akan turut diperkukuh bagi memastikan pematuhan SOP dalam kalangan jemaah dan petugas, selain melaporkan kes positif dan kontak rapat kepada KKM." "Melestarikan Warisan Budaya di Persada Global\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kursus SCH2073 (Cereka) di bawah Jabatan Pengajian Warisan, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Kelab Keilmuan Warisan (KIWA) mengadakan kolaborasi dengan universiti antarabangsa dari China bagi melangsungkan Webinar Pelestarian Warisan Budaya Melayu di Persada Global pada pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang, hari ini.\nMenurut Jabatan Pengajian Warisan, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, \u201cWebinar ini merupakan satu proses perkembangan ilmu dan penyampaian maklumat secara lebih berkesan. Selain itu, program seperti ini mampu memberikan pengetahuan kepada semua pihak yang terlibat khususnya pihak UMK untuk mengetahui perkembangan bidang keilmuan warisan dan budaya dari semasa ke semasa.\u201d\nTambah jabatan tersebut, \u201cProgram ini diyakini akan memberikan pulangan yang besar kepada semua pihak. Contohnya, program ini akan membentuk hubungan diplomatik antara pihak UMK dengan universiti antarabangsa yang terlibat.\u201d\nDengan bertemakan \u201cKeilmuan Melayu di Persada Global\u201d, webinar ini membawakan pelbagai subtema, iaitu Kesusasteraan; Konservasi; Warisan Budaya; Seni Persembahan; Adaptasi dan Transformasi Teks; Sosioekonomi dan Sosiobudaya; Hubungan Antarabangsa dan Diplomatik; Perbandingan; Mitos, Sejarah dan Pengarah Agama; Bahasa, Komunikasi dan Seni.\nPengarah Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dalam ucap utama webinar tersebut menyatakan cadangan yang boleh dilaksanakan dalam pelan tindakan untuk memperkasakan warisan budaya Melayu di peringkat global, seperti melalui platform pendidikan.\nAntaranya menerusi program kerjasama pendidikan peringkat pengajian tinggi; program pertukaran pelajar antara dua buah negara; program pertukaran ilmuwan; dan pengenalan bahasa dan budaya antara dua buah negara.\nPada sesi pertama Webinar Pelestarian Warisan Budaya Melayu di Persada Global yang bertemakan \u201cKesenian dan Kebudayaan\u201d, wakil dari UMK, Encik Sudirman Kiffli menerangkan topik \u201cPelestarian Sastera Melayu Melalui Teknologi Digital\u201d.\nBeliau membawakan pandangan Sohaimi Abdul Aziz yang menyatakan, \u201cTerdapat kepercayaan bahawa wujud garis sempadan antara sastera dengan sains dan teknologi. Pandangan umum ini berpaksi kepada premis bahawa sastera berhubungan dengan hal yang subjektif, manakala sains dan teknologi lebih bersifat faktual dan objektif.\u201d\nPada hakikatnya, wujud kolaborasi antara sastera dengan sains dan teknologi apabila sastera boleh menjadi satu wadah penting untuk memperlihatkan adanya wajah kemanusiaan pada sains dan teknologi. Hal ini dikatakan demikian kerana wujudnya genre sastera yang dikenali sebagai cereka sains dan sastera elektronik/digital.\nSains dan teknologi dapat dijadikan sebagai alat transformasi sastera.\nIkuti siaran langsung Webinar Pelestarian Warisan Budaya Melayu di Persada Antarabangsa menerusi Facebook FTKW \u2013 Heritage Studies dan Webex." "Menariknya Berita Dek Peribahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBermula pada tahun 1990, sebahagian rakyat negara ini yang gemar mengikuti slot Buletin Utama siaran Stesen Televisyen Malaysia Berhad (TV3) tentu sekali berasa cukup terkesan oleh kehadiran wartawan penyiaran yang unik penampilannya, iaitu Karam Singh Walia. Kemunculannya menjadi buah mulut para penonton. Sepanjang tempoh berkenaan, beliau berada pada kedudukan yang baik sebagai seorang wartawan serta mempunyai tarikan yang tersendiri. Dengan perkataan yang lain, di mata penonton, beliau\u00a0 unggul dari segi personaliti. Pada waktu itu, situasi \u00a0berkenaan tidak kedapatan di saluran stesen televisyen yang lain.\nDalam konteks ini, penampilan Karam Singh Walia dianggap unik serta amat digemari masyarakat berbilang kaum di negara ini berasaskan tiga faktor yang kukuh. Faktor pertama, beliau didapati sangat cenderung menyelitkan peribahasa Melayu dalam sebahagian besar laporannya yang jelas terarah kepada usaha menangani permasalahan yang menyempitkan ruang kehidupan masyarakat sehari-hari. Dalam setiap isu dan laporannya, beliau mengemukakan peribahasa Melayu secara konsisten kepada masyarakat. Adakalanya peribahasa pecahan simpulan bahasa diketengahkan, selain umpamanya perbandingan atau bandingan, perumpamaan, pepatah, bidalan, mahupun kata-kata hikmat. Dalam isu tertentu, beliau turut menyelitkan peribahasa jenis perbilangan.\nSemua tindakan yang dilakukan itu bagi menguatkan laporannya dan menarik minat penonton. Usahanya itu dianggap berjaya kerana sebahagian peribahasa Melayu yang dikemukakan berkaitan dengan sesuatu isu jarang-jarang kedengaran, malahan ada juga yang langsung tidak pernah digunakan oleh mana-mana stesen penyiaran pun. Kewujudan, kesahan, dan ketepatan peribahasa tersebut yang pada awalnya diragui itu bagaimanapun telah diperakukan setelah ada pihak menghubungi badan atau agensi yang berwibawa terutama sekali Dewan Bahasa dan Pustaka.\nFaktor kedua popularitinya ialah beliau menguasai bahasa Melayu dengan baik bukan sahaja dari segi sistem bahasa, antaranya fonem, kosa kata, frasa, klausa, ayat, dan wacana; dari segi sebutan, iaitu nada dan intonasi yang sesuai; malahan dari segi kesantunan, antaranya penggunaan sistem panggilan, ganti nama, dan rujukan istilah, yang kesemuanya didapati selaras dengan isu serta konteks sesuatu laporan. Karam Singh Walia berusaha mengelakkan dirinya daripada menggunakan istilah bahasa asing dan sedaya upaya menggunakan kosa kata atau istilah yang ada dalam bahasa Melayu, walaupun dalam sesetengah keadaan beliau terpaksa menggunakan istilah yang bersifat arkaik dan begitu langka pada pendengaran khalayak.\nBeliau juga tidak membiasakan penggunaan bahasa seperti kosa kata, istilah dan ayat yang rancu, apatah lagi menggunakan bahasa rojak. Didapati bahawa ayat-ayat yang digunakannya bertatabahasa atau gramatis \u2013 terdiri daripada subjek dan predikat yang menepati empat hukum, iaitu frasa nama + frasa nama (FN + FN), frasa nama + frasa kerja (FN + FK), frasa nama + frasa adjektif (FN + FA) dan frasa nama + frasa sendi nama (FN + FS/FSN). Bukan itu sahaja keadaannya, malahan kajian dari segi semantik pula mendapati ayat-ayat yang diujarkan oleh wartawan itu bermakna. Oleh sebab itu, laporan yang disampaikannya dapat difahami oleh khalayak.\nKaram Singh Walia turut menjadikan slot siaran Buletin Utama sebagai slot pilihan penonton dengan kemampuan, kekuatan dan kelincahan lisannya. Pemerhatian ke atas pelbagai video laporannya menunjukkan bahawa ketika menyatakan kekesalan dalam sesuatu isu masyarakat, jelas kelihatan mimik mukanya yang kesal, manakala intonasi dan nadanya juga memberikan sokongan \u2013 memperlihatkan situasi kesal tersebut. Beliau menjiwai laporannya yang berpaksikan peribahasa dengan menjadikan kekuatan penguasaan bahasa dari pelbagai aspek.\nFaktor ketiga yang menjadikan Karam Singh Walia popular dan melekat di hati penonton Buletin Utama dalam tempoh yang lama ialah keberaniannya menongkah arus. Beliau meredah pelbagai halangan untuk melaksanakan sesuatu tugasnya, terutama sekali halangan daripada pihak yang melanggar sesuatu peraturan. Memerangi sesuatu jenayah termasuklah jenayah ke atas alam sekitar bukalah suatu perkara yang mudah kerana seseorang itu terpaksa berhadapan dengan ancaman, ugutan dan pelbagai tekanan. Tidak sedikit kekangan yang dihadapi wartawan berkenaan, namun satu demi satu halangan tersebut diatasinya dan bukan calang-calang individu mampu mengatasi setiap cabaran berkenaan. Hanya individu yang \u201cberhati singa\u201d dan bersemangat waja sahaja mampu terus teguh berdiri serta mampu melangkah lebih jauh.\nDalam konteks ini, keberanian menongkah arus yang paling ketara dilakukan oleh Karam Singh Walia ialah kecenderungannya lari daripada kebiasaan golongan wartawan, iaitu melaporkan sesuatu berita dengan menjadikan peribahasa perkara teras dalam kesemua isu. Sebagai seorang individu yang bukan berketurunan Melayu, hal ini sudah tentu menimbulkan suatu kelainan kerana tidak kedapatan wartawan sama ada sebelum, semasa, mahupun selepas beliau sama ada yang berbangsa Melayu atau bukan Melayu mempunyai kecenderungan yang sedemikian rupa. Apabila beliau berdiri di atas paksi yang sedemikian, maka kita mendapati bahawa wujud suatu keunikan dan timbul perasaan takjub terhadap beliau. Sebahagian rakyat negara ini mula terfikir, iaitu kenapakah wartawan Melayu sendiri tidak mempunyai kecenderungan sedemikian?\nBerasaskan ketiga-tiga faktor itu, dapat diperhatikan bahawa Karam Singh Walia terus berdiri dengan kukuh dalam dunia kewartawanan. Dengan bahasa yang lebih mudah, dapat dikatakan bahawa hal yang sedemikian itu menjadikan wartawan tersebut amat popular di mata masyarakat dari pelbagai lapis kedudukan, pendidikan dan usia. Masyarakat negara ini melihat beliau sebagai ikon dalam dunia kewartawanan.\nPopulariti beliau juga merupakan satu daripada punca slot Buletin Utama TV3 yang bersiaran selama sejam pada waktu perdana, iaitu pada pukul 8:00 malam setiap hari mencapai rating yang tinggi. Dalam tempoh beberapa lama, slot berkenaan berkemampuan menarik perhatian penonton sehingga mencecah angka tiga juta tontonan. Dalam konteks negara kita, perkembangan berkenaan pada dasarnya luar biasa! Sungguhpun Karam Singh Walia tidak muncul dalam setiap slot berita perdana itu, masyarakat pada umumnya memilih rancangan informasi itu sebagai wadah pembijaksanaan akal budi mereka. Situasi itu kemudiannya berubah kepada suatu tanggapan yang lebih ekstrem, iaitu sebahagian daripada mereka mensinonimkan Karam Singh Walia dengan Buletin Utama. Hal yang sedemikian itu meletakkan Buletin Utama berada dalam kelas tersendiri.\nKini setelah Karam Singh Walia meninggalkan bidang kewartawanan, khususnya TV3 atau Media Prima, masyarakat negara ini benar-benar merasai kehilangan seorang wartawan yang selama ini aktif mempopularkan peribahasa, tegas, berani dan lincah berbahasa. Sehingga kini, tidak kelihatan seorang pun daripada kalangan wartawan yang berkecenderungan sepertinya. Jelas bahawa tindakan Karam Singh Walia yang pada asalnya berkhidmat dalam profesion pendidikan, iaitu sebagai guru Bahasa Inggeris, meninggalkan bidang penyiaran yang menyebabkan peribahasa sebagai satu daripada elemen kemasyhuran bahasa Melayu turut terjejas.\nWalaupun sesekali kita mendapati bahawa ada sesetengah wartawan meja sukan cuba menggunakan peribahasa dalam laporannya, jelas diperhatikan bahawa mereka tidak konsisten dalam melaksanakan pengisian perkara itu. Antaranya termasuklah Datuk Rahim Razali, Datuk Haji Hasbullah Awang, Abdullah Hasim, Alimi Wan Mahmud, Karim Mohamad, Sharkawi Jirim, Zainal Abidin Rawop, Abu Bakar Atan, Shaukei Kahar, Tabah Syazwan Othman, dan Hafizal Hamad ketika melakukan siaran langsung atau ulasan selari sesuatu kejohanan sukan sama ada pada saingan peringkat domestik mahupun pada peringkat antarabangsa. Kalaupun ada dalam kalangan mereka yang boleh dianggap cenderung menggunakan peribahasa dalam tugasan masing-masing, jumlahnya sangat kecil, antaranya termasuklah Datuk Rahim Razali, Amran Hamid, Aziz Ibrahim, dan Datuk Haji Hasbullah Awang.\nBerkaitan dengan persoalan ini, kajian lanjut juga mendapati bahawa Datuk Rahim Razali, umpamanya kerap memperlihatkan kesenian penggunaan beberapa cabang peribahasa, antaranya kata-kata hikmat, yang terdiri daripada frasa atau klausa yang sangat tinggi nilainya terutama dalam ulasan selari bola sepak. Dengan mimik muka yang sepadan dengan situasi perlawanan semasa, beliau yang juga terkenal sebagai aktor tempatan yang berkarisma, berusaha menarik penghayatan serta membentuk emosi penonton dengan penggunaan aspek bahasa yang langka tetapi amat signifikan serta relevan permasalahan dan isu yang sedang diperkatakan.\nSatu daripada klausa menarik yang terdapat dalam ulasan beliau terbukti melalui ujarannya lebih 30 tahun yang lalu, iaitu pada perlawanan bola sepak pusingan akhir Piala Dunia 1986, yang berlangsung di Mexico. Perlawanan itu membabitkan saingan peringkat kumpulan dalam salah satu kumpulan yang menemukan pasukan Denmark dengan Sepanyol pada 18 Jun 1986 di Estadio La Corregidora, di bandar raya Santiago de Quere\u2019taro, yang diadili oleh J. Ignacius Keizer dan disaksikan oleh kira-kira 38 500 penonton di stadium tersebut. Datuk Rahim Razali melakukan rumusan perlawanan itu dengan mengungkapkan klausa, \u201cBermula di jalan sukar, berakhir di jalan mati\u201d. Pada perlawanan itu, beliau turut menggunakan beberapa simpulan bahasa, antaranya termasuklah \u201cayam tambatan\u201d, \u201cduri dalam daging\u201d dan \u201cpucuk dicita, ulam mendatang\u201d.\nKajian ke atas kata-kata hikmat, \u201cBermula di jalan sukar, berakhir di jalan mati\u201d ini turut mendapati bahawa Datuk Rahim Razali mengujarkannya bagi merumuskan kekalahan besar 1\u2212 5 pasukan Denmark di tangan pasukan Sepanyol. Didapati bahawa pasukan Denmark yang diserang dengan hebat dari segenap penjuru pada bahagian awal perlawanan itu sebaliknya mendahului lawannya pada minit ke-33 melalui jaringan J. Olsen, namun kubu mereka selepas itu dibedil bertubi-tubi oleh pasukan Sepanyol yang akhirnya memperoleh jaringan melalui pemain yang mendapat jolokan Si Burung Hering, iaitu Emilio Butragueno Santos pada minit ke-43, 57, 80, dan 89, dan pemain barisan tengahnya \u2013 Andoni Goikoetxea Olaskoaga pada minit ke-68.\nDatuk Rahim Razali mengungkapkan klausa tersebut secara spontan mungkin kerana Denmark yang merupakan pasukan pilihan pada perlawanan itu sebaliknya mengalami kekalahan besar, apatah lagi melibatkan empat jaringan yang menarik oleh seorang pemain muda pasukan Sepanyol. Sebenarnya, sepanjang perlawanan itu, ulasan Datuk Rahim Rahim itu dipenuhi oleh fakta, diujarkan dengan perkataan yang tepat dan signifikan dengan konteks, serta terhindar daripada fokus yang membazir.\nTerdahulu, pada kempen bola sepak Piala Dunia 1982 di Sepanyol, Datuk Rahim Razali turut menjadi pengulas pilihan utama pihak penaja siaran langsung. Berkaitan dengan perkara ini, Rizal Hashim dalam blognya, rizalhashim.blogspot.com melalui artikel \u201cNasib Pengulas Sukan\u201d yang ditulis pada 3 Julai 2011 menyatakan bahawa menurut beberapa sumber yang boleh dipercayai, dikhabarkan pada kempen pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 1982, Datuk Rahim Razali memperoleh bayaran kira-kira RM100 000 atas ulasan sejumlah siaran langsung yang dibawakan kepada penonton oleh RTM 1 dan RTM 2. Sekiranya perkara itu benar, maka sangat wajarlah kita meletakkan beliau yang akrab dengan penggunaan frasa, klausa dan kata-kata hikmat yang merupakan sebahagian daripada peribahasa Melayu, berada pada kelasnya yang tersendiri.\nDalam konteks ini, usaha kesemua wartawan meja sukan tersebut serta rakan mereka yang lain, termasuklah pengulas sukan yang bukan berbangsa Melayu, khususnya yang bernaung di bawah saluran Astro Arena, menggunakan peribahasa dalam ulasan masing-masing seharunya dipuji. Bagi penonton yang gemar mengikuti sesuatu siaran rancangan sukan termasuklah rancangan bual bicara, wawancara, dan bicara nostalgia, pastinya mereka dapat menyaksikan sesekali terdapat usaha pengulas sukan bukan Melayu masa kini, antaranya Richard Scully, Stanley Bernard, Rueben Thevandran (Burn), dan Sharon Wee, menggunakan peribahasa Melayu.\nSungguhpun demikian, dalam konteks perbincangan seperti ini, sudah tentulah kita sebagai rakyat Malaysia yang akur akan hakikat bahawa perlunya Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan diperkasakan sangat mengharapkan mereka lebih serius dan lebih kreatif menggunakan peribahasa. Mereka seharusnya menggali khazanah bahasa dan budaya masyarakat Melayu, bukan setakat usaha seperti yang dilakukan oleh Karam Singh Walia, bahkan lebih agresif daripada beliau memandangkan sukan merupakan bidang yang sangat dekat dengan generasi muda.\nApabila penyampaian sesuatu laporan serta ulasan dalam bidang ini diselitkan peribahasa, maka dipercayai bahawa akan mudahlah pembudayaan penggunaan peribahasa tersemai dalam minda generasi baharu, malahan pada masa yang sama, generasi lama atau golongan dewasa pula akan terus menghayati aspek berkenaan dalam kehidupan mereka sehari-hari. Oleh sebab itu, kita sangat memerlukan kepekaan daripada kalangan wartawan berkaitan perkara ini agar peribahasa Melayu terus berkembang subur sepanjang zaman." "Imarahkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Peradaban Manusia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nJOHOR \u2013 Dalam agama Islam, bahasa memainkan peranannya sebagai mekanisme utama yang penting untuk memberikan makna dan kefahaman, selain dapat membaca dan menulis demi memudahkan kewajipan mencari ilmu yang berkaitan dengan ajaran Islam sebagai agama yang syumul. Ilmu itu mencakupi persoalan zahir batin, alam nyata dan alam ghaib, persoalan hidup mati, dan dengan maksud untuk menghayati serta melaksanakan perintah Allah SWT dan sunah Rasulullah SAW. Bahasa secara fitrah ialah kurniaan Allah SWT kepada manusia. Manusia menerima atau menyampaikan mesej ketuhanan melalui bahasa selain meneguhkan keimanan terhadap Allah SWT.\nFungsi bahasa adalah untuk pengilmuan manusia. Bahasa digunakan untuk mengenal pasti kekuatan sesuatu bangsa dan tamadun lain. Masyarakat menjadi maju dengan memindahkan ilmu sesuatu bahasa lain ke dalam bahasa sendiri. Contohnya, melalui penterjemahan kitab bahasa lain ke dalam bahasa sendiri seperti yang berlaku di Acheh, Kalimantan, Patani, Semenanjung Tanah Melayu, dan Brunei yang diterjemahkan oleh ulama setempat ke dalam bahasa masing-masing. Tujuannya jelas, iaitu para dai dahulu berpegang pada al-Quran dalam ayat 4, Surah Ibrahim, yang bermaksud ajaran ilmu yang berkesan perlu dalam bahasa yang difahami oleh bangsa itu sendiri.\nDalam konteks Malaysia, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan digunakan dalam urusan rasmi. Perpaduan kebangsaan dan kecekapan pentadbiran juga dicapai dengan penggunaan bahasa Melayu. Fungsi bahasa sebagai jiwa bangsa sebagai asas pembentukan konsep diri manusia, pengilmuan manusia, perantaraan perhubungan sosial dan perantaraan pewarisan tamadun.\nAsas pembinaan dan penakatan tamadun diperoleh melalui pelbagai tamadun manusia yang tumbuh dan berkembang seiring dengan pertumbuhan dan perkembangan bahasanya. Pada abad ke-17, peranan besar bahasa Melayu sudah menjadi sebagai bahasa pentadbiran kerajaan, bahasa perdagangan, bahasa pengajian dan lingua franca. Tamadun Melayu mencapai zaman keemasan sesudah datangnya agama Islam, paling lewat pada abad ke-13, dengan bahasa Melayu menjadi bahasa akidah dan syariah, bahasa ilmu lain, bahasa ketatanegaraan, bahasa undang-undang, bahasa diplomasi dan bahasa perdagangan.\nBahasa Melayu yang diwarisi hingga kini terbentuk dalam era kebudayaan Melayu Islam. Bentuknya yang baku (dalam hal bentuk dan susunan ayat) jauh berbeza daripada bahasa Melayu pada zaman kuno yang dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit dan tidak difahami lagi oleh orang Melayu kini. Islam mewariskan tulisan yang memungkinkan berkembangnya agama dan tradisi ilmu di seluruh alam Melayu. Fahaman kebangsaan dengan pengertian umat Melayu Islam terbentuk dengan bahasa Melayu sebagai lingua franca, bahasa ilmu dan lain-lain.\n\u201cBahasa sangat luas cakupan dan fungsinya. Oleh itu, manusia perlu menggunakan bahasa secara baik bagi tujuan kebaikan. Bahasa tidak seharusnya disalahgunakan untuk tujuan kejahatan seperti mengadu domba, memfitnah dan mencaci. Bahasa Melayu milik semua warganegara. Oleh itu, ahli masyarakat perlu bertanggungjawab dalam kelestarian dan keampuhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam usaha memajukan dan menjaga maruah bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga ialah unsur pembina jati diri manusia tanpa mengira etnik. Bahasa baku penting sebagai tonggak tamadun bangsa dan negara. Antara wasiat oleh Hassan al-Bana termasuklah keperluan mempertahankan bahasa baku kerana ilmu perlu diolah dalam bahasa yang baku dan baik.\u201d\nDemikianlah penjelasan oleh Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, selaku Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dengan ceramahnya, iaitu \u201cBahasa Kita Tanggungjawab Kita\u201d yang bersiaran secara langsung menerusi aplikasi Zoom pada pukul 9.30 pagi tadi menerusi majlis di Ambang Maal Hijrah.\u00a0 Tema Maal Hijrah 1443H\u00a0 ialah \u201cManhaj Rabbani, Ummah Berkualiti\u201d dan program ini anjuran Pertubuhan \u00a0Kesedaran Melayu dan Islam, Darussalamah WarRahmah." "Empat Belas Anugerah dan Pengiktirafan buat Malaysia dalam Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKemboja \u2013 Sebanyak 14 perniagaan dan pihak berkepentingan pelancongan di Malaysia telah mendapat pengiktirafan dan penganugerahan dalam Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2022.\nForum Pelancongan ASEAN (ATF) 2022 yang diadakan di Preah Sihanoukville, Kemboja dari 16 hingga 22 Januari 2022 ini adalah untuk mengiktiraf dan memberikan penghormatan kepada perniagaan dan destinasi pelancongan ASEAN yang cemerlang, dengan mematuhi Standard Pelancongan ASEAN.\nKementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan pada 20 Januari 2022 menyatakan, pengiktirafan tersebut melibatkan empat kategori, iaitu Anugerah Hotel Hijau ASEAN, Anugerah Bandar Pelancongan Bersih ASEAN, Anugerah Venue MICE (Bilik Mesyuarat) dan Anugerah Pelancongan Lestari ASEAN.\nSelain itu, MOTAC juga menyatakan, sepuluh negara anggota ASEAN berpendapat bahawa keseragaman dalam perkhidmatan pelancongan sangat penting bagi memastikan mutu dicapai serta meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan pelancongan." "Pameran Maya Nostalgia Anak Kampung: Permainan Tradisional\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dalam usaha untuk terus memperkenalkan budaya dan warisan negara kepada masyarakat terutamanya generasi muda, Muzium Negara menganjurkan Pameran Nostalgia Anak Kampung pada setiap tahun. Pada tahun 2021, pameran ini bertemakan permainan tradisional dan pengunjung boleh melayari secara dalam talian melalui laman web Pameran Maya Nostalgia Anak Kampung: Permainan Tradisional mulai 27 Disember 2021 hingga 14 Mac 2022. Pameran ini membawa pengunjung mengimbas kembali kemeriahan permainan tradisional yang semakin dilupakan masyarakat di negara kita.\n\nPermainan tradisional di Malaysia walaupun kelihatan sama, tetapi sebenarnya mempunyai perbezaan nama, peraturan dan kaedah permainan antara satu negeri dengan negeri yang lain. Walau bagaimanapun, perbezaan tersebut dapat diterima oleh masyarakat dan mampu diseragamkan mengikut keadaan.\nUmumnya, permainan tradisional mempunyai kaedah dan corak permainan yang lebih mudah, ringkas dan berilhamkan alam semula jadi seperti tarik upih, sepak bulu ayam dan lumba kaki tempurung. Permainan ini juga melibatkan banyak pergerakan fizikal yang mampu mencergaskan tubuh badan kanak-kanak sambil berseronok.\nKebanyakan permainan tradisonal di negara kita menggunakan gabungan bahan-bahan daripada alam semula jadi seperti buluh, biji benih, rotan dan kayu. Ada juga antara permainan tersebut yang menggunakan bahan-bahan terbuang seperti tin, tudung botol, selipar, getah, kulit kerang dan sebagainya. Penggunaan bahan-bahan ini menunjukkan kreativiti kanak-kanak pada zaman dahulu yang hanya menggunakan bahan-bahan sedia ada tanpa perlu mengeluarkan sebarang kos.\nPermainan tradisional kanak-kanak mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri, iaitu diwarisi dan diperturunkan dari satu generasi ke generasi; dimiliki dan dikongsi bersama oleh seluruh masyarakat; mudah dimainkan di mana-mana sahaja; peralatan yang digunakan adalah berpatutan dan mudah diperoleh; bersifat menghibur dan menyeronokkan; mengandungi unsur-unsur kreativiti dan imaginasi; memerlukan kecekapan, ketangkasan dan kepantasan kaki, tangan atau anggota badan yang lain; dan sesuai dimainkan oleh kanak-kanak daripada segenap lapisan masyarakat.\nDalam pameran maya tersebut, terdapat pelbagai jenis permainan tradisional yang boleh ditonton oleh para pengunjung. Antaranya ialah batu seremban, tapak gajah, lempar getah, sepak manggis, xiangqi (catur cina), kipas biji getah, telefon tin, kerchang dan sepak bulu ayam. Menariknya, pengunjung bukan hanya diberikan penerangan bagi setiap permaianan yang dipamerkan semata-mata tetapi juga disertakan sekali video animasi tentang cara permainan tersebut dimainkan.\nDengan berlatarbelakangkan kicauan burung dan lagu-lagu tradisional, sudah tentu secara tidak langsung membawa pengunjung merasai suasana sebenar kampung. Jom bersama-sama kita mengunjungi Pameran Maya Nostalgia Anak Kampung: Permainan Tradisional untuk mengetahui dengan lebih lajut lagi tentang budaya dan warisan kita yang semakin hilang pada hari ini." "Saiful Jaicob Martabatkan Lagu Etnik Sabah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Buloh \u2013 Sabah yang masyhur dengan gelaran \u201cNegeri di Bawah Bayu\u201c sejak sekian lama, turut dikenali kerana memiliki pelbagai bahasa, dialek, dan adat resam tradisional. Mengikut logik dan kesesuaian, tentulah anak kelahirannya sendiri yang wajar memainkan peranan mempertahan dan memartabatkan kebudayaan negeri Sabah ini.\nJusteru, Saiful Jaicob atau nama sebenarnya, Md. Noor Saifullah patut diberikan pujian. Beliau yang juga penyanyi dan komposer mengambil peluang mengetengahkan kebudayaan Sabah dengan melancarkan lagu tunggal terbaharunya dalam bahasa Dusun, berjudul Nokuro Baino. Lagu ciptaan Saiful ini sepenuhnya dirakamkan di Ben Studio, Sabah.\n\u201cSepanjang proses rakaman Nokuro Baino, saya menghadapi pelbagai dugaan. Antaranya ialah penggubahan lirik kerana terdapat sebahagian perkataan yang kurang sesuai,\u201d ujar Saiful.\nTambah Saiful, beliau juga kurang mengetahui perkataan-perkataan Dusun yang lebih mendalam dan puitis. Namun begitu, Nokuro Baino pada akhirnya berjaya disiapkan selepas merujuk Sekar Madusa, seorang komposer Dusun yang lebih arif di Sabah.\nSaiful yang aktif kembali sejak pandemik COVID-19 melanda negara, memberitahu bahawa Nokuro Baino yang bermaksud Mengapa Sekarang diilhamkan daripada kisah benar hidupnya sendiri.\n\u201cLagu ini telah dirakamkan sepenuhnya pada tahun 2019, tetapi belum dikeluarkan secara rasmi. Lagu ini dicipta semasa pertandingan tahunan, Sugandoi Kaamatan yang kian meriah di Sabah,\u201d katanya lagi.\nSugandoi Kaamatan ialah pertandingan nyanyian yang dianjurkan bersempena dengan Pesta Kaamatan di Sabah. Antara syarat yang dikenakan ialah lagu yang dinyanyikan mesti dalam bahasa Dusun, Kadazan dan Murut. Maka itu, terciptalah Nokuro Baino.\nPada tahun 2014, Saiful telah menyiapkan beberapa buah lagu tunggal. Beliau kemudian menemui langkah permulaan untuk menceburi dunia nyanyian apabila menyertai program Bengkel Hak Cipta, Bikin Lagu dan Video Muzik anjuran Luncai Emas Sdn. Bhd. pada tahun 2017, bersama-sama beberapa orang komposer tempatan Sabah yang lain.\nProgram tersebut bertujuan untuk mendedahkan orang awam dan penggiat seni, terutamanya mengenai kesedaran dan kepentingan hak cipta dalam karya-karya mereka, perkongsian tip, cara membuat lagu hit, serta pembikinan video muzik dengan telefon bimbit.\n\u201cKetika itu, saya berpeluang mengetengahkan lagu-lagu ciptaan saya kepada Luncai Emas. Program bengkel tersebut telah membawa saya menjadi komposer secara eksklusif di bawah Luncai Emas,\u201d jelas Saiful lagi.\nSebelum ini, lagu-lagu ciptaan Saiful ditadbir dan diuruskan secara digital oleh Luncai Emas. Jelasnya, dia memilih Luncai Emas kerana yakin syarikat tersebut boleh menonjolkan pelbagai jenis lagu atau bahasa di Malaysia, khususnya di Semenanjung.\nNokuro Baino telah berada di semua saluran digital dan YouTube Luncai Emas untuk didengari. Luncai Emas bertindak sebagai pengedarnya secara jualan digital di pelantar penstriman, YouTube dan iTunes.\nAkhir sekali, sudah tentulah Saiful berharap Nokuro Baino dapat diterima oleh pendengar dan masyarakat, sambil mengembangkan lagu dalam bahasa Dusun ke seluruh Malaysia." "Meriahkan Zoo Melaka Pascapandemik COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAyer Keroh \u2012\u00a0 Pandemik COVID-19 yang melanda negara sedikit banyak telah merencatkan perkembangan sektor pelancongan di negara ini. Dengan pembukaan semula industri ini pada tahun lalu, setiap pemain industri pelancongan domestik berlumba-lumba membangkitkan kembali perusahaan masing-masing dan berusaha menjadi satu daripada destinasi pilihan pengunjung. Zoo Melaka dan Safari Malam (Melaka Zoo and Night Safari) turut tidak terkecuali dalam hal ini.\nZoo Melaka dan Safari Malam atau nama asalnya, Zoo Melaka ditubuhkan pada tahun 1963 dan merupakan zoo kedua terbesar di Malaysia. Mempunyai keluasan 54 ekar, zoo yang diletakkan di bawah selenggaraan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya ini membawakan kepada pengunjung konsep terbuka dalam pameran haiwan; mempertingkatkan program pendidikan hidupan liar; program pembiakan dan pemuliharaan haiwan; serta menjadikan zoo sebagai kawasan rekreasi.\nZoo Melaka dibuka pada setiap hari, iaitu; Isnin hingga Jumaat, dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang; serta Sabtu dan Ahad, dari pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang.\nSementara itu, Safari Malam beroperasi pada setiap hari Jumaat dan Sabtu, bermula pada pukul 8.00 malam hingga 11.00 malam. Safari Malam memberikan pengalaman istimewa kepada pengunjung untuk memerhatikan tingkah laku haiwan malam di habitat semula jadi mereka.\nAntara haiwan di Zoo Melaka:\nBermula pada penghujung tahun 2020, Zoo Melaka dan Safari Malam memberikan peluang kepada pengunjung merasai pengalaman baharu dengan menampilkan lebih 100 spesies dinosaur menerusi ruangan \u201cDinosaur Encounter\u201d. Menurut Facebook Dinosaur Encounter, taman ini merupakan taman dinosaur interaktif terbesar di Asia Tenggara dan dikatakan kos untuk membangunkannya adalah sekitar RM12 juta.\nUntuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Zoo Melaka dan Safari Malam, layari laman web Zoo & Taman Burung Melaka; dan Dinosaur Encounter menerusi laman web Dinosaur Encounter Zoo Melaka." "Dream Malaysia Promosi Tempat Pelancongan yang Belum Diterokai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Tourism Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dengan kerjasama GoPro telah menghasilkan video \u201cDream Malaysia\u201d bagi mempromosikan keindahan destinasi-destinasi menarik di Malaysia.\n\u2018Dream Malaysia\u2019 merupakan sebuah kempen yang mengetengahkan tarikan ekopelancongan dan pelancongan desa, memberikan inspirasi kepada keluarga Malaysia untuk melancong ke lokasi-lokasi unik yang masih belum diterokai, dan mencipta kenangan baharu dengan menggunakan kecanggihan kamera GoPro.\nKempen ini bermula dengan penganjuran pertandingan video \u201cDream Malaysia Challenge\u201d yang berlangsung antara 13 hingga 28 Mac 2021. Para peserta perlu merakamkan dan menyiarkan video pendek berdurasi antara 30 hingga 45 saat yang menonjolkan pelbagai tarikan ke destinasi yang pernah mereka lawati di Malaysia untuk menyertainya.\nPara peserta juga perlu memastikan video tersebut telah diedit dengan menggunakan aplikasi GoPro yang tersedia. Pertandingan ini menawarkan pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi seperti alatan elektronik GoPro yang terkini serta pakej percutian berasaskan alam semula jadi yang menarik di Taman Negara, Gopeng Glamping Park dan Bukit Tadom. Sebanyak 133 penyertaan telah diterima sepanjang pertandingan tersebut berlangsung.\nMajlis pelancaran kempen \u201cDream Malaysia\u201d telah berlangsung pada 26 Januari 2022 dan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan \u201cDream Malaysia\u201d merupakan gabungan kerjasama yang memfokuskan kepada pendigitalan dalam menyemarakkan industri pelancongan negara.\nTambah beliau, terdapat pelbagai tarikan di Malaysia tetapi masih ada lagi \u00a0yang belum mendapat perhatian para pelancong terutamanya produk-produk ekopelancongan dan pelancongan desa.\nMelalui GoPro, MOTAC mahu menampilkan kandungan dan perspektif baharu melalui pengalaman pengembaraan yang menakjubkan bagi keluarga Malaysia dan warga dunia.\nYang turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Wira Dr. Noor Zari Hamat, Pengerusi Tourism Malaysia, Dato\u2019 Seri Ramlan Ibrahim, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dato\u2019 Hj Zainuddin Abdul Wahab, serta barisan pengurusan kanan MOTAC dan Tourism Malaysia\nNaib Presiden Pemasaran Global dan Komunikasi GoPro, Encik Rick Loughery yang turut bersama-sama dalam majlis perasmian tersebut menyatakan pihaknya amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Torism Malaysia dalam mempamerkan destinasi-destinasi yang menakjubkan di Malaysia.\nMelalui kempen ini, matlamat GoPro adalah untuk memberikan peluang kepada orang ramai untuk merakamkan dan mengabadikan memori mereka melalui pelbagai sudut manakala Tourism Malaysia pula memainkan peranan dalam mengetengahkan destinasi-destinasi yang kaya dengan tarikan dan budaya.\nPasukan GoPro dan penyedia kandungan di bawah pengendalian Tourism Malaysia telah mengembara ke beberapa buah negeri untuk menerokai destinasi tempatan yang belum diterokai. Penemuan keindahan produk-produk perlancogan yang tersembunyi sepanjang pengembaraan tersebut membolehkan mereka memperoleh pengalaman dan mencipta kenangan yang unik di sekitar Malaysia dengan menggunakan kecanggihan kamera GoPro.\nVideo-video yang dihasilkan akan dikongsikan melalui platform media sosial GoPro dan Tourism Malaysia. Diharapkan kesemua video yang dihasilkan akan memberikan inspirasi kepada keluarga Malaysia untuk menerokai destinasi-destinasi unik tersebut. Bagi mendapatkan maklumat yang lebih lanjut, bolehlah melayari laman Instagram dan Facebook GoPro serta laman Instagram dan Facebook Tourism Malaysia." "Muram Dunia Seni Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDalam makalah bertajuk \u201cTahun 2021: Perginya Seniman yang Berjasa kepada Khazanah Seni Negara\u201c, penulis menyampaikan mengenai kemuraman dunia seni kreatif tanah air yang menangisi kehilangan tokoh seniman dan penggiat seni yang pergi menghadap Ilahi pada tahun 2021, iaitu Allahyarham Datuk Jamali Shadat, Allahyarham Abu Bakar Omar, Allahyarham Abu Bakar Ahmad (Tawil) dan Allahyarham Baharuddin Haji Omar atau lebih dikenali sebagai Anjang Aki. Penulisan makalah pada kali ini merupakan kesinambungan daripada pengisahan pemergian penggiat dunia seni Malaysia pada tahun lalu.\nTidak lama selepas pemergian Anjang Aki, negara kita dan peminat seni suara tanah air dikejutkan dengan pemergian penyanyi terkenal bersuara hebat, iaitu Siti Sarah Raissuddin. Penyanyi bersuara emas ini, walaupun sudah bergiat aktif dalam dunia nyanyian seawal usia belasan tahun, tetapi bakat dan kehebatan suaranya menyerlah apabila dia berjaya ke peringkat akhir pertandingan Bintang RTM 2001. Kejayaan dalam Bintang RTM itu menjadi batu loncatan kepada Siti Sarah untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang nyanyian.\nSelain Bintang RTM, Siti Sarah pernah memenangi tempat ketiga pertandingan One in a Million Musim Kedua pada tahun 2007/2008. Beliau pernah mewakili negara ke World Championship of Performance Arts (WCOPA) 2009 dan telah berjaya membawa pulang tiga pingat emas untuk negara.\nSebagai penyanyi, Siti Sarah telah menghasilkan tiga buah album bermula dengan album Kesetiaan (2002). Antara lagu nyanyian Siti Sarah yang terkenal ialah Kesetiaan, Ku Teruskan, Ke Hujung Dunia, Pesan Mamaku, Saat Hilang Cintamu, Jangan Kau Mimpi, Tinggalkan Diriku, Mimpi pun Sama, Bersamamu, Cinta itu Nyawa (duet bersama Shuib) dan Semakin.\nSepanjang penglibatan beliau dalam bidang nyanyian, Siti Sarah telah memenangi anugerah Artis Baharu Terbaik, Album Pop Terbaik dan Album Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) 2003. Beliau juga telah memenangi anugerah Artis Baharu Wanita Terbaik dalam Anugerah Planet Muzik (APM) 2003.\nSiti Sarah merupakan anak kepada Raissuddin Hamzah, penyanyi dan pelakon drama era 1980-an. Siti Sarah berkahwin dengan pelawak Shuib Sepahtu pada tahun 2011 dan mereka dikurniakan empat orang anak. Namun demikian, Siti Sarah telah menjadi korban COVID-19 pada 9 Ogos 2021.\nPemergian Siti Sarah dalam usia muda bukan hanya kehilangan besar kepada industri seni hiburan negara, tetapi kita juga kehilangan seorang penyanyi bersuara hebat dalam generasinya.\nMengakhiri tahun 2021, industri seni negara dikejutkan pula dengan berita pemergian mengejut pengarah filem dan penulis lakon layar terkenal, Mamat Khalid pada 24 Oktober 2021. Mamat Khalid ialah adik kepada kartunis terkenal negara, iaitu Datuk LAT.\nMamat Khalid merupakan seorang auteur. Filem-filem arahan Mamat Khalid bukan sahaja mempunyai identiti dan stailnya yang tersendiri, tetapi filem-filem komedinya selalunya membawa kritikan sinis berhubung dengan perkembangan sosial dan politik semasa masyarakat negara ini. Sungguhpun kekuatan Mamat Khalid lebih dikenali melalui filem-filem komedinya, tetapi Mamat Khalid juga telah menghasilkan lakon layar filem Puteri Gunung Ledang (2004) arahan Saw Thian Heng.\nMamat Khalid bermula dengan drama televisyen, iaitu drama Namaku Yassin (1996) yang disiarkan oleh NTV7. Selepas itu Mamat menghasilkan drama Rombongan Cik Kiah Sukan Komanwel (1998) dan dengan drama ini, nama Mamat Khalid mula diberikan perhatian. Antara tahun 1996 hingga 2019, Mamat telah menghasilkan tidak kurang 12 buah drama TV. Antara yang cukup diingati ialah drama 15 Puasa (2004), 16 Puasa (2015) dan 17 Puasa (2019). Kejayaan siri drama tentang puasa ini menyebabkan Mamat melanjutkannya menjadi karya filem, iaitu 18 Puasa di Kampung Pisang (2020). Mamat juga turut menghasilkan tiga buah drama bersiri dan antara yang cukup terkenal ialah Kampung Pisang Bersiri-siri (2020 \u2212 2021).\nSebagai penulis dan pengarah filem, Mamat Khalid bermula dengan filem komedi Lang Buana (2003). Filem terakhir tulisan dan arahan Mamat Khalid adalah 18 Puasa di Kampung Pisang (2020). Pada tahun 2021, Mamat sebenarnya ada menghasilkan sebuah filem pendek, iaitu Kampung Pisang Kita Setandan.\nSebagai pengarah filem, Mamat Khalid sebenarnya telah menulis dan mengarahkan tidak kurang daripada 23 buah filem. Kejayaan besar filem-filem Mamat Khalid bermula dengan filem Zombi Kampung Pisang (2007). Filem seram (horror)-komedi ini ialah sebuah parodi filem genre seram zombi yang dipopularkan kembali oleh George A. Romero pada tahun 1968 melalui filem Night of a Living Dead.\nSelepas kejayaaan filem Zombi Kampung Pisang, Mamat menghasilkan pula filem neo-noir Kala Malam Bulan Mengambang (2008). Filem ini bukan sahaja memberikan Mamat anugerah Pengarah Terbaik, tetapi filem Kala Malam Bulan Mengambang turut memenangi Anugerah Filem Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Lakon Layar Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-21 pada tahun 2008. Namun begitu, kejayaan komersial paling besar filem arahan Mamat Khalid ialah filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010).\nKebanyakan filem karya Mamat Khalid mengambil latar dan suasana di Perak, iaitu latar dan sosiobudaya yang dekat dengan Mamat Khalid sendiri. Bukan itu sahaja, minat Mamat Khalid yang begitu mendalam terhadap muzik terutama muzik rock sehinggakan beliau boleh bermain alat muzik dan bertanggungjawab menubuhkan kumpulan bandnya sendiri, iaitu Drop Out (1986). Minatnya terhadap muzik menjadi inspirasi untuk Mamat menghasilkan empat buah filem berlatarkan rock, iaitu Rock (2005), Rock Ooo (2013), Rock Bro (2016) dan Rock 4: Rockers Never Dai (2020).\nMamat Khalid telah berkarya selama 25 tahun dari tahun 1996 hingga 2021. Dalam tempoh 25 tahun itu, Mamat begitu prolifik dan telah memberikan kita 23 buah filem, 12 buah drama televisyen dan tiga drama bersiri. Sebagai karyawan filem, Mamat Khalid ialah seorang auteur, pemikir dan pemerhati yang sensitif setiap sisi masyarakatnya untuk diangkat sebagai subjek dalam filem-filemnya. Sebagaimana idolanya, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, filem-filem Mamat Khalid juga sarat dengan pemikiran dan kritikan sinis masyarakat.\nSelain mengarah filem, Mamat Khalid ialah pengasas dan pengusaha galeri kafe Sarang Art Hub, sebuah bangunan bekas rumah lama kerajaan di Tanjung Malim yang telah dijadikan ruang galeri pameran segala memoriblia filem dan muzik serta sebuah kafe. Sebagai mengenang jasa dan karya-karya seni Mamat Khalid, adalah baik jika kerajaan mengekalkan galeri ini sebagai Sarang Art Hub Mamat Khalid. Sudah pasti Sarang Art akan menjadi tumpuan para pencinta filem tanah air khususnya filem-filem Mamat Khalid, dan pada masa yang sama boleh menjadi tarikan pelancong ke Tanjung Malim.\nSelain seniman dan karyawan yang telah dibicarakan, pada tahun 2021 juga kita telah kehilangan sejumlah seniman dan para penggiat seni iaitu, pelakon drama Norhayati Taib (7 April); dramatis dan pelawak, R. Romasundram (26 Mei); pelakon veteran, Julie Faridah (30 Mei); penyanyi Tony Iskandar atau dikenali juga sebagai Tony Spider (30 Jun); penyanyi nasyid, Azizan Rabbani (7 Julai); pelakon drama, Benjy Ibrahim (juga anak pelakon Azean Irdawati) pada 11 Julai; penyanyi Mimiloma, iaitu adik kepada biduanita negara Saloma pada 21 Ogos; malah kita turut kehilangan pelakon Fetty Dzul pada 18 November. Kita juga turut merasakan kehilangan pelakon teater yang cukup berwibawa, iaitu Mazlan Tahir yang meninggal dunia pada 21 Oktober 2021.\nMereka para seniman, pengarah filem, penyanyi, pelakon dan pelawak, iaitu karyawan yang sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap kreativiti seni mereka. Melalui karya-karya itulah mereka menghiburkan, mengingatkan dan menyedarkan kita tentang ombak realiti kehidupan yang penuh cabaran dan pelbagai kemungkinan.\nKita akan sentiasa mengingati mereka sebagai seniman dan karyawan yang telah memberikan komitmen dan keikhlasan dalam karya-karya mereka. Malah, karya-karya seni mereka itu akan terus hidup bersama-sama kita demi mengisi khazanah seni warisan negara." "Small Town Heroes: Filem untuk Pelbagai Kaum\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Small Town Heroes yang bakal ditayangkan di pawagam di seluruh negara semasa perayaan Tahun Baharu Cina 2022 mulai 3 Februari 2022 nanti boleh dianggap sebagai filem untuk Malaysia. Selain keseluruhan penggambaran dijalankan di negara ini, tenaga produksinya ialah karyawan tempatan, daripada pengarah sehinggalah kesemua kru.\n\nPara pelakonnya berbilang kaum. Tidak hanya Yuan Teng, Jack Lim serta pelakon kanak-kanak Phua Chandler dan Roger Shak, Small Town Heroes turut dibintangi oleh Layla Sania, C. Kumaresan (yang terkenal menerusi drama bersiri televisyen Gerak Khas) sebagai Cikgu Kumar, dan pelakon veteran berwibawa, Fauziah Nawi.\nKisah yang dibawakan oleh filem ini juga tidak asing dengan masyarakat Malaysia, iaitu anak yang tiada ibu bapa, sama ada kerana kematian ataupun perceraian.\nIstimewanya, Layla ialah penyanyi muda Melayu yang menarik perhatian ramai setelah mendendangkan lagu Mandarin pertamanya berjudul By Your Side pada 22 Januari tahun 2021. Kebolehannya menyanyikan lagu itu, dan bertutur dalam bahasa Mandarin dengan begitu fasih telah menarik perhatian Ryon Lee untuk membintangi filem terbaharu arahannya, Small Town Heroes. Dalam filem bercorak drama itu, Layla memegang satu daripada watak penting, iaitu Cikgu Aisyah. Fauziah pula sebagai ibunya.\nWalau bagaimanapun, Layla yang berusia 19 tahun tidak hanya dipilih kerana mampu menyanyi dan bertutur dengan fasih dalam bahasa Mandarin. Dia juga ada bakat berlakon, malah kebolehan itu yang membawanya ke dalam dunia seni tanah air. Layla menggilap bakat lakonan semasa berusia 10 tahun apabila muncul dalam telefilem Cucu Tok Aki, diikuti dengan drama Bangkitnya Seorang Perempuan. Selepas meninggalkan kerjaya seni buat seketika untuk memberikan tumpuan pada pelajarannya, Layla bergiat pula dalam teater dan suara latar ketika berusia 17 tahun.\nYuan pula ialah Aktor Terbaik untuk Bakat Baharu di Festival Filem Antarabangsa Shanghai ke-22 pada 21 Jun 2019 menerusi filem Taiwan, The Paradise. Aktor kelahiran Kuala Lumpur ini juga dipilih oleh Ryon kerana memiliki mata monolid. Filem lain lakonan Yuan ialah In My Heart (2018).\nDalam The Paradise yang diarahkan oleh sutradara Taiwan, Shih-Han Liao, Yuan membawa watak seorang anak muda yang menghadapi masalah ketagihan dadah. Menurut Yuan, lakonannya sebagai Guo Qing merupakan penghargaan Ryon untuk Guo Jing dalam filem The Legend of the Condor Heroes, arahan Jin Yong.\nGuo Qing dalam Small Town Heroes merupakan peniaga buah-buahan yang lurus dan na\u00eff, serta suka berlagak gagah di hadapan orang yang disukainya. Kata Yuan atau nama sebenarnya Chang Hong Ong lagi, dia teruja setelah mendapat tahu akan membintangi Small Town Heroes, yang merupakan filem Tahun Baharu Cinanya yang pertama. Selepas membaca skrip dan melihat senarai pelakon, dia sangat gembira, dan tidak sabar untuk ke set penggambaran.\nJment Lim yang menjadi penerbit bersama-sama penerbit eksekutif Aron Koh, turut berjanji 30 peratus daripada keuntungan Small Town Heroes akan didermakan kepada badan amal.\nPada 20 Januari 2022 lalu, telah berlangsung majlis pratonton dan sidang media filem Small Town Heroes di sebuah pusat beli-belah dekat sini yang turut dihadiri oleh Layla dan Yuan, serta Roger, Phua, Jack, dan \u00a0Eric Lin, bersama-sama Ryon.\nDalam sidang media tersebut, masing-masing menceritakan keseronokan dan kepuasan ketika menjalani penggambaran walaupun terpaksa menghadapi kekangan prosedur operasi standard akibat COVID-19. Roger dan Phua yang telah memberikan lakonan cemerlang masing-masing sebagai Hero dan Ah Feng turut berkongsi pengalaman menarik mereka.\nKisah Small Town Heroes bermula apabila Hero yang berasal dari kota, berpindah ke Rumah Anak Yatim Kebahagiaan yang terletak di luar bandar. Di situ, dia berkawan baik dengan Ah Feng yang keletah, serta meminati novel seni pertahanan diri, dan Aisyah yang walaupun bijak matematik, serta bertubuh kurus, tetapi mahu menjadi ahli gusti \u2013 mengikut jejak dan bakat arwah ayahnya. Setelah ibu Hero tidak datang mengambilnya seperti yang dijanjikan, dia dan Ah Feng, serta Aisyah memulakan perjalanan mencari keluarganya.\nDengan kos produksi kira-kira RM2.1 juta dalam format 2D, kisah cinta pemuda Cina, Guo Qing dan gadis Melayu, Cikgu Aisyah dalam filem ini merupakan penghargaan kepada filem Sepet (2005). Ryon mengakui bahawa beliau sentiasa meminati filem arahan Allahyarham Yasmin Ahmad itu sehingga terdorong menghasilkan Small Town Heroes." "\u201cSeni tanpa Budaya itu Tidak Indah\u201d \u2013 Profesor Mohd. Nasir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Menurut Dekan Fakulti Seni Kreatif, Universiti Malaya, Profesor Dr. Mohd. Nasir Hashim, polemik seni budaya ini tidak boleh dilihat melalui satu perspektif sahaja. Untuk melahirkan mahasiswa yang berseni dan berbudaya, antara organisasi pendidikan yang paling layak dan memainkan peranan utama ialah Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM).\nAPM antara badan pendidikan yang melahirkan masyarakat yang beridentiti, berbudaya dan mereka juga yang giat memperjuangkan kesenian dan kebudayaan itu sendiri,\u201d kata beliau.\nTambahnya lagi, Fakulti Seni Kreatif di UM lebih menumpukan untuk mendidik mahasiswa dan masyarakat dalam gagasan fokus seni yang lima, iaitu visual, drama, muzik, tari dan budaya, manakala APM pula yang mengintegrasikan kebudayaan di samping menjadi pusat intelektual kebudayaan dan itulah yang membezakan karyawan UM dengan karyawan lain.\nKenyataan Profesor Dr. Mohd. Nasir ini dirakam daripada Bicara Santai Seni Budaya (BSSB) yang beliau hadiri sebagai ahli panel, pada 26 Januari 2022 (Rabu) lalu, bertempat di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. BSSB pada kali ini hadir dengan tajuk \u201cPeranan Seni Budaya dalam Kehidupan Masyarakat\u201d dengan barisan panel jemputan terdiri daripada mantan Ketua Pegawai Kebudayaan Pusat Kebudayaan UM, Sahimi Haji Chik; Profesor Dr. Mohd Nasir Hashim sendiri dan Dr. Mohd Effindi Shamsuddin dari Akademi Pengajian Melayu, UM.\nPersembahan muzikal khas turut didendangkan daripada Kombo Universiti Malaya yang diketuai oleh Danny Hashim, dengan persembahan vokal istimewa daripada Dr. Shafasatussara Silahudin.\nDekan Fakulti Seni Kreatif UM itu juga sempat menekankan bahawa APM sebagai badan yang mengandungi gagasan budaya itu sendiri, perlu berganding rapat dengan Fakulti Seni Kreatif yang berdiri sebagai fakulti yang melahirkan para pelajar kesenian, untuk melahirkan masyarakat seni budaya.\n\u201cSeni dan budaya saling melengkapi antara satu sama lain. Seni tanpa budaya akan cacat, dan tidak akan indah,\u201d jelas beliau.\nSementara itu, Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Melayu, Encik Mohd Effindi Shamsuddin berkata, \u201cKita melihat disiplin ilmu dan idea yang pelbagai itu mekar apabila seni budaya dihidupkan oleh masyarakat daripada pelbagai latar belakang.\u201d\n\u201cDi peringkat IPT, adalah menjadi tanggungjawab kami yang berkhidmat di sini untuk menanam jiwa kreatif seni budaya dalam kalangan pelajar daripada pelbagai bidang. Hasilnya, inisiatif dan aktiviti daripada APM mahupun Fakulti Seni dan Kreatif atau mana-mana organisasi seni budaya dari UM akan disertai oleh pelajar daripada pelbagai bidang, dan idea-idea yang dibawa mereka ini sangat istimewa dan menarik,\u201d jelas Effindi.\nBeliau berposisi bahawa kepentingan untuk menarik pelajar merentasi bidang untuk menyertai bidang kreatif patut diberikan keutamaan. Menjawab persoalan mengenai apakah relevannya seni budaya buat mahasiswa dan masyarakat? Beliau menjawab bahawa sebagai platform dan medan untuk menggambarkan perasaan dan identiti, seni budaya juga merupakan medan praktikal.\n\u201cSeni budaya ialah sebuah medan idealistik, malah medan praktikal dan medan kehidupan serta rasa hidup,\u201d katanya.\nBeliau juga menambah, \u201cSeni budaya juga satu pemikiran, dan kesatuan kematangan. Medan ini mencorak keperibadian, tambahan dengan budaya, malah menjadikan seseorang itu sebagai insan yang berjiwa\u00a0 disegani. Seni dan budaya merupakan satu keperluan yang sangat penting untuk seseorang, tidak kira apa-apa pekerjaan hakiki mereka, apatah lagi buat mahasiswa,\u201d jelas Effindi, menyimpulkan bicara.\nTonton bicara penuh di sini." "Di Sebalik Tahun Baharu Cina\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nWarna merah sinonim dengan sifat berani, megah dan semangat yang membara. Warna merah bersifat terang, menyala-nyala dan mudah dilihat dari jauh walaupun dalam suasana yang terang. Penggunaan warna merah begitu meluas dan mempunyai konotasi berbeza. Merah juga turut mendapat tempat dalam kalangan penulis lirik lagu terutamanya lagu patriotik yang berbunyi \u201cmerah membara semangat waja\u201d. Pada masa yang sama, warna merah pasti sinonim dengan masyarakat Cina di Malaysia. Apabila gegantung berwarna merah digantung di sana sini, tanglung berwarna merah dihias di pintu masuk gedung beli-belah dan boneka harimau dihias di ruang legar, sudah pasti menyajikan alamat kepada masyarakat bahawa Tahun Baharu Cina semakin mengunjung tiba.\nWarna merah ibarat warna wajib bagi masyarakat Cina di Malaysia. Setiap etnik Cina di Malaysia pasti akan memeriahkan Tahun Baharu Cina dengan warna merah. Namun begitu, apakah simbolik merah dalam kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina? Warna merah ialah lambang tuah bagi masyarakat Cina. Oleh itu, penggunaan warna merah dari segi hiasan rumah dan pakaian dalam kalangan masyarakat pasti menjadi keutamaan untuk menjemput tuah dalam kehidupan.\nNamun begitu, warna merah bukan sahaja popular semasa sambutan Tahun Baharu Cina tetapi warna merah turut menjadi warna tema utama apabila majlis kebudayaan orang Cina seperti perkahwinan dan upacara hari lahir. Hiasan kaligrafi yang dilakar pada kertas berwarna merah juga turut ditampal pada dinding rumah malah turut ditampal pada pintu. Selain memeriahkan suasana, hiasan berwarna merah tersebut mempunyai simboliknya yang tersendiri. Menurut cerita hikayat yang diwariskan oleh warga emas dari generasi ke generasi, hiasan berwarna merah di pintu rumah seolah-olah memberikan kuasa sakti bagi menakut-nakutkan raksasa ganas bernama Nian. Pada masa yang sama, hiasan tersebut dikatakan dapat menghalau raksasa tersebut daripada memusnahkan keharmonian isi rumah. Oleh itu, tidak hairanlah masyarakat Cina begitu tekal dengan penggunaan warna merah yang melambangkan keceriaan dan kemeriahan suasana.\nDalam pada itu, mercun papan yang dibakar semasa sambutan Tahun Baharu Cina turut berwarna merah. Sudah pasti perkara ini adalah untuk mengalu-alukan kehadiran tahun baharu dan bunyi-bunyian mercun yang bingit dan berdentum-dentam dilihat sebagai satu simbolik untuk menghalau nasib malang dalam sesebuah keluarga.\nMasyarakat Cina sangat mengalu-alukan kehadiran tahun baharu yang dilihat sebagai masa yang sangat berharga. Hal ini dikatakan demikian kerana Tahun Baharu Cina melambangkan langkah awal dalam menempuhi kehidupan yang baharu. Masyarakat Cina yakin bahawa setiap tahun baharu pasti akan membawa kebahagiaan malah kekayaan. Oleh sebab itu, tidak hairanlah kebanyakan peniaga pasti akan bercuti panjang semasa sambutan Tahun Baharu Cina. Sudah pasti Tahun Baharu Cina sentiasa ditunggu-tunggu dan kanak-kanak turut menghitung detik kehadiran Tahun Baharu Cina dek sampul angpau yang juga berwarna merah.\nPada waktu malam menjelang Tahun Baharu Cina, masyarakat Cina pasti akan berkumpul di rumah ibu bapa masing-masing untuk majlis makan besar. Adik-beradik yang berjauhan pasti akan pulang ke desa halaman untuk melengkapi upacara jamuan besar ini ibarat peribahasa, \u201csetinggi-tinggi terbang bangau, akhirnya hinggap ke belakang kerbau jua\u201d. Kepulangan anak-anak atau sanak-saudara yang berkumpul beramai-ramai melambangkan kemeriahan dan kemegahan sesebuah keluarga.\nNamun begitu, sambutan sejak pandemik ini agak berbeza dengan kehadiran COVID-19 yang membimbangkan. Pada tahun ini, setiap ahli keluarga yang berkumpul sudah tentu akan melakukan ujian kendiri COVID-19 supaya masing-masing selamat. Ujian kendiri ini amat penting bagi mengelakkan daripada pembawaan COVID-19 yang masih bermaharajalela di seluruh dunia.\nDalam kemeriahan menikmati hidangan, generasi muda pasti dapat meneka bahawa juadah semasa makan besar pasti pelbagai. Hidangan seperti ikan, ayam, sayur-sayuran, udang, itik dan abalone pasti menjadi rencah utama. Hidangan besar seperti ini sudah tentu istimewa dan tidak selalu dihidangkan pada hari-hari biasa. Masyarakat Cina sangat mensyukuri kehadiran Tahun Baharu Cina. Oleh sebab itu, hidangan yang pelbagai ini mengandungi simboliknya yang tersendiri.\nSebagai contohnya, hidangan ayam merupakan simbolik kepada kelancaran dalam apa-apa jua bidang yang diceburi terutamanya perniagaan dan pelajaran. Selain itu, hidangan ikan turut melambangkan harapan agar sesebuah keluarga mendapat laba yang banyak daripada kerjaya atau perniagaan yang dilaksanakan. Hidangan udang pula menunjukkan lambang kegembiraan manakala hidangan sayur-sayuran sudah pasti melambangkan kesihatan yang berkekalan kerana kesihatan turut melambangkan simbol kebahagiaan dalam kehidupan. Jamuan besar bukan berkehendakkan kenyang semata-mata tetapi jamuan pengikat kasih, menjemput tuah dan berkongsi rezeki.\nHidangan jamuan besar pasti akan lebih enak dan bermakna jika dimasak bersama-sama ahli keluarga. Pepatah bagai aur dengan tebing sangat signifikan dalam semangat kekeluargaan masyarakat Cina. Hidangan tradisi yang enak dimasak secara bergotong-royong. Kaum ibulah yang menjadi tonggak utama bagi merancang juadah, menyusun resipi turun-temurun yang dihafal, menyediakan rencah, rempah-ratus utama dan menterjemahkan resipi itu menjadi hidangan enak di kuali panas.\nNamun begitu, keenakan hidangan Tahun Baharu Cina akan lebih terasa apabila dimasak bersama ahli keluarga yang lain. Lazimnya, persediaan dimulakan pada awal pagi. Perapan ayam dan sup perlu disediakan lebih awal malah memakan masa agar rasa rempah-ratus mesra betul dalam hidangan laksana hubungan erat antara saudara. Dalam kesibukan menyediakan juadah ini, sudah pasti kaum ibu akan menurunkan resipi ini kepada anak agar tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.\nTiada catatan perlu dibuat kerana kelembutan tutur kata menyampaikan resipi tradisi pasti akan dapat dipahat pada minda generasi muda. Bagi kaum Adam, sudah tentu mereka juga bersama-sama bergotong-royong membersihkan dan menghias rumah ibarat mengalu-alukan dengan penuh kegembiraan ketibaan tahun baharu. Pada masa yang sama, membuang \u201csui\u201d atau malang dan sial yang melingkari sesebuah keluarga. Bukan itu sahaja, mengemas rumah perlu disegerakan lebih awal kerana pada hari pertama Tahun Baharu Cina, dilarang keras untuk membersihkan rumah atau menyapu lantai.\nApabila menjelangnya hari pertama Tahun Baharu Cina, warna merah semakin mendominasi suasana bukan sahaja pakaian baharu malah sampul wang wajib berwarna merah yang bermaksud tuah. Sampul wang berwarna merah dikenali oleh seluruh masyarakat Malaysia sebagai angpau. Lazimnya angpau akan diberikan kepada anak-anak saudara yang masih kecil atau belum berkahwin. Selain anak-anak yang masih kecil, warga emas juga turut menerima angpau. Selain merah yang melambangkan tuah, tanpa disedari bahawa merah juga melambangkan kasih sayang yang utuh dalam ahli keluarga.\nPemberian angpau sebagai tanda ingatan dan kasih seseorang ahli keluarga terhadap saudaranya atau ibu bapanya. Besar atau kecil jumlah angpau adalah rahsia dan dianggap biadab jika wang angpau dikira di hadapan pemberinya. Perkara yang paling utama ialah nilai kasih sayang yang dialirkan melalui sampul tuah berwarna merah.\nAmalan kunjung-mengunjungi atau ziarah-menziarahi sudah boleh mula diamalkan pada tahun harimau ini. Namun demikian, dalam menduga kebiasaan baharu dan norma baharu pandemik COVID-19 ini, ujian kendiri COVID-19 patut diamalkan oleh setiap individu sama ada sanak-saudara mahupun rakan karib sebelum bertandang ke rumah orang lain. Amalan ini merupakan satu tanggungjawab dan etika kendiri bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masing-masing. Secara tuntasnya, sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini tidak banyak berbeza dari segi tradisi dan adat, cuma sedikit sebanyak diselaputi dengan Prosedur Pengendalian Standard atau SOP yang menjamin kita semua.\nWalaupun berdepan dengan suasana pandemik yang semakin berubah ke arah endemik, Tahun Baharu Cina tetap merah menyala ibarat semangat masyarakat Cina yang turut sama-sama berani melawan jangkitan COVID-19 malah turut memeriahkan suasana menyambut tuah dalam suasana norma baharu.\u00a0Kita berkumpul dan menyambut Tahun Baharu Cina dengan amalan kita menjaga kita." "Dari Belantara ke Jata Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMalaysia sebuah negara yang unik. Negara yang memiliki kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat pelbagai keturunan bangsa yang sentiasa rukun damai dan saling menghormati antara satu sama lain. Sejarah lampau telah membuktikan, kemakmuran rantau ini bukan sahaja kepada geografi bentuk muka bumi dan cuacanya serta angin yang bertiup, tetapi dapat dirasakan keluhuran masyarakat rantau ini atau disebut Alam Melayu, masyarakat yang penuh dengan budi pekerti dan selalu meraikan tetamu yang hadir berurusan dengan mereka.\nSifat orang Melayu yang terkenal dengan kesopanan dan keluhuran hati budi ini terkenal di serata dunia. Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah jika perkara ini merupakan hal pertama yang menjadi faktor penarik kepada banyak pihak untuk mendatangi Alam Melayu, selain daripada pesatnya aktiviti perdagangan serta maritim yang berlaku di sini pada ketika itu khususnya pada abad ke-15 Masihi sebelum Kesultanan Melayu Melaka dijarah oleh penjajah.\nKemakmuran ini sentiasa sahaja memporakperandakan mereka yang tamak dan tidak hairanlah pelbagai kuasa asing mendatangi negara ini seperti yang direkodkan sejarah hanya kerana mahu merebut \u201cpermata\u201d yang terunggul di rantau ini. Suatu masa dahulu, masyarakat di sini berhati \u201cpermata\u201d dan tanah serta udaranya juga begitu. Sejarah ini tidak boleh kita abaikan begitu sahaja. Takdir juga telah menemukan kita, serta hidup dalam kemakmuran dilimpahi rahmat Yang Maha Kuasa.\nSejak merdeka, kita memahami hidup rukun damai pelbagai bangsa dan budaya dalam negara ini. Kita mengasuh anak-anak supaya saling meraikan kepelbagaian bangsa serta keunikan budaya. Rukun Negara menjadi paksi anak-anak kita memahami perpaduan hidup berbumbungkan langit yang sama, membina keluarga sehingga berjaya di tanah yang sama, dan kiblat kita tentang semangat negara bangsa juga kepada negara yang sama, kesemuanya kita pupuk dan semai dengan kasih sayang, agar generasi seterusnya memahami bahawa berseteru serta mengkhianati Rukun Negara akan menyebabkan perpaduan kita ibarat telur di hujung tanduk.\nBersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina 2022 dan Hari Wilayah pada hari ini, kami bersama-sama menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia tidak kira apa-apa bangsa serta usia agar bersama-sama memahami dan menghayati kehidupan kita yang saling rukun damai dalam negara yang kita cintai ini. Mari sama-sama kita renungkan semangat yang ada pada Pak Belang. Dalam sastera Melayu khususnya kisah haiwan tauladan, harimau menjadi subjek penting dalam khazanah sastera kita dalam menyampaikan mesej yang mengandungi pendidikan untuk kita renungkan. Selain harimau, haiwan seperti kancil, arnab, kura-kura, monyet, buaya dan kerbau juga memiliki keistimewaan tersendiri.\nAdakah ibu bapa muda hari ini masih berkongsikan kepada anak-anak tentang kisah haiwan tauladan ini? Menurut sahabat, dalam al-Quran juga ada kisah-kisah haiwan yang diceritakan yang sudah tentu mempunyai maksud atau perlambangan tertentu untuk difahami oleh semua yang membaca kitab suci bagi orang Islam ini.\nSama ada bersumberkan khazanah sastera lisan atau daripada kitab suci, keseluruhannya sudah tentu mempunyai pendidikan atau mesej kebaikan yang hendak disampaikan kepada manusia hingga hari ini. Begitu juga dalam masyarakat Cina, kisah tentang 12 ekor haiwan dalam kalendar Cina merupakan kisah yang amat menarik dan penuh dengan simbolik.\nDalam perkongsian tahun lalu, seorang penyampai dari DBP amat teruja memberitahu kepada umum bagaimana beliau turut memahami apabila kucing tidak disenaraikan antara daripada 12 ekor haiwan tersebut, iaitu tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing dan babi. Keprihatinan beliau tentang kepercayaan masyarakat Cina berkaitan dengan haiwan ini membuktikan bahawa beliau turut meraikan kepelbagaian budaya dan juga sastera.\nSetiap ekor haiwan yang dinamakan dalam pengisahan Maharaja Jed ini diundang bagi menjayakan perlumbaan yang dianjurkan oleh maharaja. Perlumbaan tersebut diadakan untuk menentukan haiwan yang manakah yang akan berjaya, kisah ini apabila dihubungkan kepada manusia melambangkan hasrat seseorang dalam mencapai cita-citanya serta halangan yang ditempuhi sebagai ujian manusia dengan kehidupannya. Oleh sebab itu, 12 ekor haiwan ini dimasukkan dalam kalendar Cina kerana kejujuran mereka menjayakan perlumbaan yang dianjurkan oleh maharaja. Pun begitu, kucing yang ada muslihat dengan tikus, akhirnya tidak tersenarai.\nSetiap haiwan mempunyai karakter tersendiri. Kelemahan dan kekuatan seseorang yang lahir pada tahun haiwan yang dilahirkan akan merujuk haiwan tersebut. Contohnya pada tahun ini, tahun harimau, seseorang yang lahir pada tahun ini dalam penelitian karakter masyarakat Cina berdasarkan haiwan tersebut merupakan seorang yang agresif, berani dan bersemangat dalam perjuangan.\nBelakangan ini, kita didedahkan tentang kisah nyata Pak Belang yang menerima kesan akibat penerokaan hutan serta aktiviti pembalakan yang tidak terkawal. Kes Pak Belang yang hilang habitatnya menyebabkan pelbagai pihak kini serius melaksanakan penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap pencerobohan hutan serta perlindungan haiwan liar.\nDilaporkan kini cuma tinggal tidak lebih 200 ekor Harimau Malaya. Sekiranya kita tidak melakukan sesuatu dengan lebih serius dan terancang, haiwan yang menjadi lambang negara Malaysia akan pupus dan generasi kita hanya akan dapat melihat Pak Belang yang tidak bernyawa di Jata Negara sahaja.\nAdakah kita sanggup untuk kehilangan Pak Belang selama-lamanya daripada kehidupan kita kerana kerakusan kita serta sikap ambil mudah kita kepada pemeliharaan serta perlindungan kepada spesies haiwan yang dilindungi ini? Saya bimbang, haiwan yang menjadi simbol kepada semangat juang yang tinggi pejuang-pejuang nasionalisme terdahulu untuk kemerdekaan negara, akan lenyap daripada penglihatan dan pandangan kita sekiranya kita tidak bersungguh-sungguh mengatasi hal ini.\nBersempena dengan Sambutan Tahun Baharu Cina ini, kami ingin menyampaikan pesanan kepada semua pihak khususnya pihak berwajib, dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaik-baiknya bagi memastikan haiwan yang menjadi simbol keberanian dan kekuasaan negara Malaysia ini akan dapat dilindungi dan jumlahnya akan dapat bertambah pada masa-masa akan datang.\nDari belantara sehingga dimasukkan dalam kalendar Cina dan berdiri gagah di Jata Negara, kami membawakan perspektif yang sangat halus dan murni kepada para pembaca berkaitan Pak Belang. Dari satu sudut kita melihatnya sebagai haiwan yang liar, ganas dan menakutkan, tetapi ada yang dapat kita pelajari daripada semangat Raja Rimba ini, iaitu semangat perjuangan tidak pernah akan terpadam.\nBertiup angin dari banjaran, bersama segarnya udara alam semesta, pepohon gagah tegak berdiri, belantara menangis sudahpun kita dengar, Pak Belang, kami memahat janji, Pak Belang akan kekal menjadi simbol keberanian dan semangat juang generasi Malaysia pada masa-masa akan datang. Selamat Tahun Baharu Cina 2022." "Cabaran Industri Terjemahan semasa Pandemik COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2013 Industri terjemahan merupakan antara industri yang tidak terjejas dan tidak terkesan akibat pandemik COVID-19. Berdasarkan pengalaman sebagai penterjemah bebas, seseorang itu mampu menterjemahkan buku dan ada juga yang terpaksa menolak beberapa tawaran. Pandemik COVID-19 turut membuka ruang dan peluang kepada penterjemah muda untuk mengasah kemahiran dan memperbanyakkan usaha mereka.\nPelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang mengehadkan pergerakan seseorang telah memberikan lebih banyak masa kepada penterjemah. Kebanyakan usaha penterjemahan kini dapat dijalankan secara dalam talian yang memudahkan urusan harian. Walau bagaimanapun, proses penterjemahan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada teknologi semata-mata kerana kepakaran dan kemahiran penterjemah masih diperlukan dalam industri terjemahan. Teknologi yang ada dapat membantu penterjemah untuk menguruskan penterjemahan. Sekiranya hanya bergantung pada teknologi, hasil terjemahan akan menjadi kaku, kurang cantik dan kurang tepat.\nPandemik COVID-19 juga menyebabkan banyak istilah baharu diperkenalkan kepada masyarakat. Penciptaan istilah baharu mempunyai sistem dan syaratnya yang tertentu. Tidak semua perkataan boleh diterjemahkan secara langsung tetapi ada yang memerlukan sedikit percampuran dan pengubahsuaian. Kini satu perkataan boleh didapati dalam pelbagai bidang dan padanan kerana mempunyai kaitan dengan linguistik dan lain-lain lagi.\nIndustri terjemahan kian berkembang di negara ini dan bayaran bagi kepakaran tersebut juga semakin tinggi berbanding pada masa lalu. Dalam proses terjemahan juga ada semakan kedua dan seterusnya kerana sehebat mana pun seseorang penterjemah itu, perlu ada orang kedua bagi memastikan hasil terjemahan tersebut sempurna.\nDemikian antara inti pati yang disampaikan oleh kedua-orang panel, iaitu Dr. Noor Ida Ramli, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi MARA (UiTM), yang juga ahli Majlis Jawatankuasa Induk Persatuan Penterjemah Malaysia dan Dr. Norhazlina Husin, Pengarah Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-18 (PPA-18) yang bersiaran secara langsung secara dalam talian dalam media sosial pada pukul 11.00 pagi tadi. Wawancara Layar Putih Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) edisi khas ini mengupas topik \u201cIndustri Terjemahan dalam Dunia Global Kini\u201d diadakan bersempena dengan PPA-18.\nSaban tahun, PPA diadakan dan pada tahun ini, persidangan tersebut juga bakal berlangsung pada 24 Ogos 2021 hingga 26 Ogos 2021 secara dalam talian. PPA-18 pada kali ini begitu istimewa kerana Universiti Sains Malaysia akan membawa pakar bahasa dan pihak UiTM pula akan membawa peserta daripada pelbagai bidang akademik." "Menggiatkan Industri Kraf Tangan Capal\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSimpang Empat \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Kilang Capal Dr. Saad yang baru sahaja siap diperbesar saiz bangunannya di Kampung Chemumar Tengah, Simpang Empat, Perlis, baru-baru ini.\nKeberangkatan tiba baginda disambut oleh pemilik syarikat Sentuhan Budi Trading, Encik Saad Saep. Syarikat tersebut telah beroperasi di lokasi yang sama sejak penubuhannya pada tahun 2001. Dengan moto \u201cMemartabatkan Warisan Capal\u201c, syarikat ini turut mendapat sokongan dan bantuan daripada Pejabat Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis.\nDalam pada itu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah dengan mengingatkan semua masyarakat agar mementingkan integriti dan akauntabiliti dalam tadbir urus kerana perkara tersebut akan mendidik masyarakat mengamalkan sikap yang lebih positif.\nJika sesebuah organisasi itu ingin mantap dan berjaya, maka pembudayaan tadbir urus yang baik dalam kalangan warganya merupakan suatu kemestian dan perlu sentiasa disuburkan.\nTitah baginda lagi, \u201cTadbir urus yang baik juga secara langsung mahupun tidak langsung akan dapat menggalakkan budaya dan nilai yang lebih baik dalam kalangan rakyat untuk jangka masa panjang.\u201c\nYang turut hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor." "Genting SkyWorlds Dibuka pada 8 Februari ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2212 Genting SkyWorlds, sebuah taman tema yang dijangka akan menjadi taman tema kedua terbesar di Asia Tenggara dari segi jumlah pengunjung akan mula dibuka pada 8 Februari 2022.\nMenurut Ketua Operasi Perniagaan dan Strategi, Genting Malaysia Bhd, Lee Thiam Kit dalam satu kenyataan, \u201cPembukaan taman tema ini akan turut menyumbang kepada sektor pelancongan dan ekonomi dengan kewujudan ribuan peluang pekerjaan.\u201d\nDengan keluasan 10.4 hektar pada ketinggian 6000 kaki dari aras laut, taman tema Genting SkyWorlds bakal membawa pengunjung mengembara ke sembilan \u2018dunia\u2019 yang diinspirasikan oleh filem dan pengembaraan, menggabungkan harta intelek (IP) asli, dan juga keseronokan serta keterujaan bertemakan filem dalam permainan serta tarikan bertaraf dunia. Taman tema ini akan menawarkan 26 tarikan merentasi sembilan zon dianggarkan menerima sehingga lebih 4.0 juta pelawat dalam tempoh setahun.\nPara pelanggan boleh mendapatkan tiket melalui laman web Genting SkyWorlds dan aplikasi Genting SkyWorlds bermula pada pukul 10.00 pagi hari ini. Bersempena dengan pembukaan prapelancaran taman tema tersebut, Genting SkyWorlds menawarkan diskaun sebanyak 20 peratus ke atas harga tiket penuh bagi kunjungan dari 8 Februari hingga 31 Mac 2022.\nHarga tiket penuh bagi tiket standard ialah RM189; kanak-kanak dengan ketinggian 90 sentimeter (cm) ke 110 cm dan warga emas atau orang kurang upaya (OKU) berharga RM161 dan kanak-kanak dengan ketinggian di bawah 90 cm boleh memasuki Genting SkyWorlds secara percuma.\nSementara itu, harga tiket selepas diskaun prapelancaran sebanyak 20 peratus adalah RM151 bagi tiket standard dan RM128 bagi kanak-kanak dengan ketinggian 90 cm ke 110 cm dan warga emas atau OKU.\nSemasa tempoh pembukaan prapelancaran, akses Virtual Queue (VQ) dan Photo+ percuma akan disediakan yang membolehkan pengunjung memuat turun dan berkongsi kandungan foto digital tanpa had.\nSelepas membeli tiket secara dalam talian, pengunjung digalakkan untuk memuat turun aplikasi Taman Tema Genting SkyWorlds yang tersedia dengan percuma di Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery. Aplikasi itu bukan sahaja memberikan panduan yang komprehensif dengan maklumat masa nyata berkenaan dengan Genting SkyWorlds, malah membolehkan pengunjung untuk mengemudi dan melawat taman secara maya agar mereka dapat merancang aktiviti yang mereka minati terlebih dulu, serta mencari arah dan jalan untuk ke destinasi mereka.\nAntara ciri aplikasi tersebut adalah dipaparkan tempoh menunggu dan pengunjung boleh merancang masa mereka untuk setiap permainan, tarikan dan persembahan yang tersedia pada hari itu; menerima tawaran promosi dan baucar diskaun; mendapatkan maklumat tempat-tempat makan, beli-belah, permainan, serta perkhidmatan Photo+ yang canggih." "Kerja Penyelamatan dan Pemindahan Jumpaan Perahu Jalur di Sungai Ketil\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBaling \u2013 Jabatan Warisan Negara (JWN) memulakan kerja penyelamatan dan pemindahan jumpaan perahu jalur di Sungai Ketil pada 5 Februari 2022 setelah dijumpai oleh penduduk kampung dua hari lepas. Paras air sungai yang cetek akibat kemarau menyebabkan perahu lama yang dipercayai peninggalan pedagang zaman dahulu timbul di tepi tebing sungai.\nMenurut Ketua Penghulu Mukim Kupang, Baling, Badrol Hisham Che Li, perahu jalur lama tersebut dijumpai oleh penduduk kampung yang menjala ikan di Sungai Ketil sebelum bertindak melaporkannya kepada beliau. \u201cPerahu ini berkemungkinan digunakan oleh pedagang pada zaman dahulu sebagai salah satu cara pengangkutan mereka kerana Sungai Ketil berhubung dengan Sungai Kuala Muda dan terus ke laut,\u201d katanya.\nKerja penyelamatan dan pemindahan jumpaan perahu jalur di sungai tersebut juga turut disertai oleh wakil Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nasha Roziadi Khaw. Menurut beliau, penemuan tersebut penting kepada penting Kampung Lela, Kuala Pegang sebagai sebuah pengkalan perdagangan Kedah Tua. Tambah beliau, pihaknya akan cuba membantu JWN daripada segi konservasi dan analisis saintik perahu jalur tersebut.\nPihak JWN akan berkerjasama dengan pihak berkuasa daerah untuk mengalihkan perahu lama tersebut untuk melindunginya agar proses konservasi dapat dijalankan dengan lebih lanjut bagi menentukan tarikh dan usia sebenar perahu jalur tersebut." "Nadya Berkarya Menggunakan Pen\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHasil karyanya sangat kreatif dan begitu teliti. Susun atur komposisinya juga sangat kemas dan tidak ada ruang yang dibazirkan. Gubahan yang menarik ini ialah hasil tangan pelukis yang bernama Nadya A. Kamal, seorang pengkarya wanita muda tanah air yang begitu aktif berpameran sejak beberapa tahun kebelakangan ini.\nNadya yang berasal dari Sabak Bernam ini berkata bahawa dalam keluarganya tiada seorang pun yang minat melukis. Berbeza buat dirinya, Nadya sangat menggemari aktiviti melukis dan ketika belajar di Maktab Rendah Sains MARA Pendang, Kedah, Nadya mengambil subjek tambahan Pendidikan Seni dek kerana minatnya yang begitu mendalam.\nSetelah itu, Nadya tidak lagi menoleh ke belakang dan terus menyambung pendidikan seni dalam bidang Diploma Seni Halus Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Melaka. Kemudian, Nadya meneruskan lagi pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dan pascasiswazah dalam bidang yang sama di kampus UiTM Shah Alam, Selangor. Kini, Nadya berasa puas kerana dapat menjadikan minat tersebut sebagai satu karier kerana berjaya menjadi seorang pensyarah seni lukis di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).\nBercerita tentang minatnya dalam bidang ini, Nadya berkata bahawa sejak berusia lima tahun lagi, beliau sudah minat melukis. Perkara ini terjadi ketika melihat ibunya menulis sesuatu di atas kertas. Bermula pada saat itu, Nadya mula berasa kagum dengan kebolehan kawalan tangan yang memegang pen dan seterusnya menghasilkan stroke yang menarik di atas kertas.\nSelain itu, Nadya juga mula berjinak-jinak melukis komik dan majalah kanak-kanak. Antara majalah yang digemarinya ialah komik Sailormoon.\u00a0 Melalui komik ini, Nadya mula meniru lukisan kesemua karakter komik ini terutama stroke garisan yang ada pada figura, arkitektur, pakaian, serta efek latar belakangnya. Aktiviti melukis semula komik ini menjadikan dirinya lebih mahir dalam pengawalan stroke serta kualiti garisan yang kemudiannya menjadi identiti dalam karya yang dihasilkan.\nProses Berkarya\nNadya menghasilkan karya dengan pelbagai media tetapi lebih cenderung kepada media kering seperti pensil, arang, pastel dan pen. Hal ini dikatakan demikian kerana Nadya sangat berminat dan menggemari kesan yang dihasilkan oleh garisan. Kepelbagaian, pengulangan dan pertindihan garisan memberikan kepuasan yang signifikan berbanding dengan campuran warna.\nKualiti garisan juga merupakan aspek penting kerana memberikan kesan ekspresi yang tersendiri selain memberikan impak emosi buat dirinya serta audiens yang melihatnya. Ketebalan dan kenipisan garisan menghidupkan sesuatu komposisi gubahan kerana karakter garisan itu sendiri sudah cukup membangkitkan rasa tanpa perlu menambah apa-apa media lain seperti warna. Lebih daripada itu, Nadya juga berkata bahawa setiap objek yang dilihat di sekelilingnya sering dirungkaikan kepada bentuk garisan dan garisan yang melengkung pula akan menjelma kepada sesuatu bentuk. Pandangan yang berbentuk ilusi ni sering berlaku dalam mindanya berikutan kecintaannya pada elemen garisan.\nTambah Nadya lagi, melukis merupakan satu proses yang membolehkan kita menjadi pemerhati yang baik dan juga membuatkan kita melihat sesuatu subjek secara menyeluruh dalam konteksnya. Lukisan serta elemen garisan juga mengajar Nadya bahawa setiap perkara wujud lebih daripada sekadar permukaan, setiap elemen di sekeliling memainkan peranan dalam kewujudan tersebut dan elemen-elemen ini mempengaruhi bagaimana subjek itu dilihat.\nBagi menghasilkan sesuatu lukisan itu, Nadya akan bermula dengan melakar menggunakan pensel. Ideanya pula merupakan olahan daripada gambar yang dirakamnya sendiri. Melalui gambar tersebut, Nadya akan mula menghasilkan komposisi kreatif dengan membuang atau menambah sesuatu objek agar gubahanya menjadi seimbang dan menarik. Ketepatan garisan, kualiti garisan, sudut pandang serta perspektif ruang adalah elemen yang menjadi kunci utama dalam setiap karya yang dilukis.\nSetelah berpuas hati dengan komposisi tersebut, maka Nadya akan mula menggunakan pen bagi menyiapkan keseluruhan karya tersebut. Pen menjadi pilihan utama kerana sifatnya yang tahan lasak di samping mudah untuk digunakan. Nadya memilih pena mata bulat kerana sifatnya yang kering dan tidak mudah kotor. Pen ini berbeza daripada pen dakwat basah kerana walaupun kesannya menarik, tetapi dakwat pen ini mudah kembang dan tidak kalis air.\nDari sudut yang lain, pena mata bulat sangat efektif. Harganya yang murah serta mudah didapati menjadikan bahan ini pilihan utama buat Nadya. Menurutnya lagi, hanya berbekalkan sebatang pen sahaja Nadya dapat menghasilkan banyak karya tanpa perlu memikirkan hal-hal yang lain. Berbeza dengan penggunaan arang atau pensel, media ini mudah patah dan tumpul dan hal ini akan melambatkan lagi proses untuk melukis.\nDitanya tentang seniman yang sentiasa menjadi rujukannya, Nadya berkata antara artis yang menjadi inspirasi buatnya ialah Edgar Degas, Albrecht Durer, Henri de Toulouse-Lautrec, Alfonso Dunn dan Redmer Hoekstra. Nadya juga menamakan beberapa seniman tempatan yang tidak kurang hebatnya seperti Jalaini Abu Hassan, Haslin Ismail, Shamsuddin Wahab, Ilse Noor dan Khairuddin Zainudin. Menurut Nadya, mereka bukan sahaja sangat cekap dan mahir (skillful), tetapi karya mereka sarat dengan jati diri di samping mengangkat imej tempatan.\nMenyentuh tentang perancangan untuk masa akan datang, Nadya berkata, beliau berazam untuk menghabiskan tesis doktor falsafah atau PhD-nya. Hal ini dikatakan demikian kerana sebagai seorang ahli akademik, Nadya perlu sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuanya dengan melakukan pelbagai kajian ilmiah di samping terus aktif berkarya. Kedua-dua perkara ini akan memberikan sumbangan kepada perkembangan dunia seni visual tanah air agar sentiasa segar dengan idea baharu.\n\u00a0\nPenulis merupakan Dekan Fakulti Animasi dan Multimedia, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA)." "UniMAP Turut Sama Melestarikan Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra \u2012 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut serta dalam menjayakan \u201cProjek Diraja Kampung Warna-warni Program Transformasi Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis\u201c melalui \u201cProgram Kampung Seberang Ramai Lestari\u201c.\nDalam satu sesi taklimat kepada\u00a0Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM)\u00a0 Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail baru-baru ini, Naib Canselor UniMAP, Profesor Ts. Dr. Zaliman Sauli menyatakan, \u201cInisiatif yang dilaksanakan UniMAP adalah dengan memberikan fokus untuk merapatkan jurang perbezaan sosioekonomi yang ketara; sifar risiko kemalangan industri; serta sifar penyakit dan wabak akibat pencemaran. Hal ini bakal dicapai menerusi pemindahan ilmu yang praktikal daripada pihak pelaksana program kepada penduduk kampung khasnya pelajar sekolah dan golongan remaja di kawasan berkenaan.\u201d\nMenurut Profesor Ts. Dr. Zaliman, \u201cSejak awal tahun 2021 lagi, UniMAP bersama-sama pelbagai agensi, institusi pendidikan dan sekolah, badan beruniform, agensi swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu perseorangan lain menjayakan inisiatif yang didukung oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) ini.\u201d\nProgram berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha \u2018UniMAP for Society (U4S)\u2019 yang dibahagikan kepada enam tema utama, iaitu Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Kesihatan, Alam Sekitar dan Bantuan Kemanusiaan.\n\u201cUntuk tahun 2021 sahaja, UniMAP telah melaksanakan 193 projek di bawah U4S yang melibatkan kerjasama antara UniMAP dengan 182 pihak agensi dan industri, serta 14 485 orang ahli komuniti,\u201d jelas Profesor Ts. Dr. Zaliman.\nDalam perkembangan lain, Tuanku Raja Muda Perlis berkenan berangkat meluangkan masa meninjau perkembangan terkini tahap kebersihan kawasan Kampung Seberang Ramai yang kian mendapat kesedaran dan kerjasama yang cukup baik dalam kalangan masyarakat setempat.\nBaginda turut menitahkan ucapan terima kasih kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perlis yang telah memasang papan tanda arah ke kampung nelayan tradisional tersebut yang merupakan destinasi pelancongan terbaharu di Perlis. Papan tanda arah tersebut diletakkan di beberapa lokasi strategik di sekitar Kuala Perlis bagi memudahkan para pelawat datang untuk berkunjung ke kampung berkenaan." "Layarkan: Lagu Penenang Hati, Pendorong Semangat Hadapi COVID-19\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Buloh \u2013 Tidak dinafikan pandemik COVID-19 membawa kesan buruk kepada banyak pihak, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Masyarakat perlu meneruskan kehidupan dengan menghadapi pelbagai kesukaran.\nSebagai tanda kebersamaan dan keprihatinan, kita wajar saling membantu tanpa mengira apa-apa cara pun, serta bangsa dan agama. Dari segi kejiwaan, antara bantuan untuk perasaan dan semangat yang boleh diberikan adalah menerusi karya seni seperti lagu.\nDalam konteks ini, Layarkan dendangan kumpulan Prasangka boleh dianggap sebagai antara lagu yang memujuk hati dan mendorong semangat agar kita semua tetap bertahan dalam kesukaran yang dihadapi.\nPada Julai 2020, Prasangka merakamkan Jadey selepas kebenaran rentas negeri yang pertama diberikan oleh kerajaan Malaysia. Lagu tersebut dirakamkan di studio Dapo Rekod, Nilai, Negeri Sembilan, kepunyaan pemain gitarnya, Areef Iskandar.\nJadey membawa kisah ayam tua bernama Jadey yang masih memperjuangkan nasibnya laksana ayam muda yang jauh lebih gagah, dan hebat daripadanya. Jadey juga masih mahu berkuasa di wilayahnya.\nWalau bagaimanapun, pada hakikatnya, sebenarnya Jadey sudah tua dan tidak bertenaga seperti dahulu lagi. Justeru, Jadey sewajarnya meniti usia senja dengan berehat dan menenangkan diri.\nLayarkan telah dirakamkan pada awal April 2021, ditunjangi penyanyi dan komposer Prasangka sendiri, iaitu Ajis Hisham. Sebagaimana Jadey, Layarkan juga dirakamkan di studio Dapo Rekod, Nilai, Negeri Sembilan.\nMenariknya, Layarkan turut menampilkan ilustrasi sangkar, sebagai lambang diri kita yang terkurung dengan sendirinya. Kedua-dua ilustrasi dihasilkan oleh Sue Anna Joe, seorang jurugambar, pelukis dan artis digital.\n\nLayarkan mula berada di pelantar YouTube Luncai Emas Sdn. Bhd. (Luncai Emas) pada 10 Disember 2021 lalu, dan juga di semua saluran digital seperti Spotify, Apple Music dan Joox Music. Edaran secara jualan digital dilakukan oleh Luncai Emas.\nPrasangka yang juga bakal muncul dengan EP pertama mereka mengandungi enam buah lagu pada pertengahan tahun ini, berharap pendengar dapat menerima, serta menggemari Layarkan, selepas Jadey dimuat naik di YouTube Luncai Emas mulai Oktober 2020.\n\u201cPrasangka memilih Luncai Emas untuk pengedaran digital kerana Luncai Emas bersesuaian dengan konsep dan cita rasa kami. Luncai Emas juga merupakan syarikat penerbitan tempatan. Jadi, sudah tentulah kami menyokongnya,\u201d jelas Ajis yang juga pemain gitar Prasangka.\nPrasangka merupakan sebuah kumpulan yang lagu-lagunya berkonsepkan rock n roll, bluegrass, dan kerakyatan dengan cara mereka yang tersendiri. Menurut Ajis, antara muzik yang mempengaruhi Prasangka, termasuklah daripada kumpulan Kembara (pimpinan Datuk M. Nasir, pemilik Luncai Emas sendiri), Search, Al Di Meola, Roy Clark dan Sirkus Barock." "Hubungan Harmonis Tamadun Melayu-China Perlu Diteruskan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Siri Syarahan ATMA 2022 (Bil.1) yang bertajuk \u201cTamadun Melayu dan Tamadun China Berwacana: Meneroka Ruang dan Peluang Kolaborasi \u2018Menang-Menang\u2019\u201d, pada pukul 10.00 pagi tadi. Program yang berlangsung secara hibrid bertempat di Bilik Majlis, Aras 5, Bangunan Canselori, UKM ini turut dipancarkan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom.\n\nWacana yang menampilkan ahli panel yang tidak asing lagi, iaitu Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengarah ATMA telah mengupas secara mendalam berkenaan dengan hubungan antara dua tamadun, iaitu Tamadun Melayu dengan Tamadun China yang telah bermula sejak sekian lama dahulu.\nMemperihalkan bibit-bibit awal hubungan antara dua tamadun ini, adalah diketahui bahawa bukti-bukti hubungan awal Tamadun Melayu dengan Tamadun China boleh digali dari pelbagai aspek seperti arkeologi, kesusasteraan, artifak dan lain-lain.\nKeakraban hubungan antara dua tamadun ini telah berlangsung dengan beberapa dinasti antaranya Dinasti Han, Tang, Song, Ming dan Qing. Mereka pernah datang ke Melaka dan interaksi antara dua tamadun ini dilahirkan melalui pelbagai aspek.\nProfesor Datuk Seri Dr. Awang memulakan wacana dengan menjelaskan bahawasanya menurut catatan sejarah China, hubungan Tamadun Melayu-China telah wujud semasa zaman Dinasti Han, iaitu kira-kira 100 tahun sebelum Masihi. Han Shu Di Li Zhi (Catatan Dinasti Han \u2013 Rekod Geografi) telah merekodkan pelayaran pegawai-pegawai Maharaja Wu Di ke India dan melalui Selat Melaka pada kira-kira tahun 140 SM hingga 87 SM.\nPerdagangan melalui pertukaran barang telah dilakukan di Asia Tenggara dan Asia Selatan. Beliau berkata:\nTidak dapat dinafikan lagi bahawasanya hal ini memungkinkan interaksi antara dua tamadun malahan beberapa nama tempat seperti Terengganu, Kelantan dan Kedah turut disebut dalam catatan mereka. Tentulah tempat tersebut disebutkan dalam sebutan yang berlainan tetapi itu bukan perkara yang menghairankan bahkan perbezaan sebutan juga turut berlaku pada zaman moden ini.\nHubungan akrab ini masih diteruskan hingga hari ini dan bahkan kita dapat melihat penduduk keturunan Cina yang telah melalui beberapa generasi dan mereka membentuk populasi yang berjumlah 22 peratus daripada penduduk Malaysia yang berjumlah 32 juta orang. Tidak dinafikan bahawasanya mereka turut mewarnai masyarakat majmuk Malaysia dalam pelbagai perkara seperti seni budaya, bahasa, busana, makanan, perayaan dan sistem kepercayaan.\nProfesor Datuk Seri Dr. Awang juga turut melontarkan beberapa cadangan pelan tindakan untuk meneruskan hubungan baik ini termasuklah melakukan penyelidikan tentang pelbagai aspek peradaban seperti sistem nilai, falsafah, pemikiran, pandangan sarwa, seni, bahasa, seni bina serta lain-lain. Hal ini perlu dilakukan menggunakan pendekatan kajian perbandingan terutamanya antara alam Melayu dan China. Hal ini bertujuan untuk menghasilkan persefahaman dan penghargaan yang lebih mendalam antara kedua-dua pihak.\nBerkenaan perkembangan Islam di China dan Islam di alam Melayu khususnya, beliau berkata:\nIslam di China melalui beberapa data konkrit adalah bermula pada abad ketujuh melalui sahabat Nabi Muhammad SAW, iaitu Saad bin Abi Waqqas yang diutuskan oleh Saidina Usman bin Affan untuk menyebarkan Islam ke Timur. Masjid yang dibina oleh beliau masih teguh berdiri hingga hari ini. Hal ini menunjukkan bahawa Islam telah lama bertapak di China malah lebih jauh dari Tanah Melayu sendiri. Kita perlu mengambil peluang ini untuk menjemput ilmuwan mereka bagi menyampaikan kefahaman kepada orang Cina di Malaysia terutama berkaitan dengan kesalahfahaman berkenaan dengan agama Islam.\nSebagai penutup, beliau menzahirkan harapan berkenaan hubungan antara dua tamadun ini agar hubungan antara alam Melayu dengan negara China sentiasa malar segar.\nHubungan ini perlu didasarkan atas semangat persahabatan seperti yang telah wujud sejak abad ketujuh bahkan lebih awal hingga abad ke-15 supaya persahabatan terjalin untuk kedamaian sejagat. Ini merupakan satu peluang yang mesti kita ambil seluas-luasnya bukan sahaja dalam aspek ekonomi dan pendidikan bahkan dalam aspek agama dan kajian-kajian yang lain." "Pelaksanaan SOP Baharu bagi Ibadah Umrah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi ibadah umrah akan berkuat kuasa bermula 14 Februari ini. Keputusan itu diumumkan dalam Mesyuarat Ke-12 Menteri Kuartet COVID-19, bertarikh 8 Februari 2022 yang lalu. Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira angka jangkitan, penambahbaikan SOP dan keperluan dos penggalak dalam mengurangkan risiko jangkitan virus COVID-19.\nTerdahulu, Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaludin dalam sidang media yang diadakan telah memutuskan untuk menangguhkan sementara perjalanan umrah bagi tempoh sebulan, berkuat kuasa pada 8 Januari 2022 yang lalu untuk memberikan laluan kepada proses penilaian risiko dan penelitian terhadap SOP. Selain itu, beliau juga telah mengadakan sesi libat urus bersama-sama Persatuan Industri Pelancongan (UMRAH) bagi mendapatkan maklum balas berhubung dengan hala tuju pelancongan umrah susulan keputusan penangguhan sementara yang sedang berkuat kuasa dengan kerjasama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato\u2019 Sri Nancy Shukri.\nMenteri Kanan Pertahanan, Dato\u2019 Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, \u201cAntara SOP baharu itu adalah keperluan person in charge (PIC) atau wakil yang bertanggungjawab daripada agensi pelancongan untuk memantau kepatuhan 40 orang jemaah umrah semasa berada di Tanah Suci, dalam perjalanan pulang ke Malaysia dan ketika di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Malaysia.\u201d\n\n\u201cBagi kumpulan yang kurang daripada 40 orang jemaah, PIC perlu menguruskan jemaah di PMA. Tatacara pengurusan dan prosedur untuk memohon kebenaran PIC untuk masuk ke ruang PMA di KLIA akan dimaklumkan kemudian melalui persatuan-persatuan pengendali umrah,\u201d jelas beliau.\nSelain itu, jemaah umrah diwajibkan untuk mengambil dos penggalak serta menjalani kuarantin wajib di kediaman masing-masing dan jemaah tidak perlu memohon kelulusan Home Quarantine Application (HQA). Jemaah juga dibenarkan untuk menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin swasta dengan syarat, kos penginapan, makan minum dan rawatan di bawah tanggungan jemaah sendiri.yah\nSOP baharu ini akan berkuat kuasa bermula pada 14 Februari 2022. Susulan itu, para jemaah yang dalam perjalanan mengerjakan umrah dalam tempoh antara 8 hingga 13 Februari 2022 boleh mengguna pakai tatacara SOP sebelum ini. Penggunaan SOP baharu akan mula diguna pakai sebaik-baik sahaja jemaah kembali semula ke Malaysia. Syarat ini termasuklah proses menjalani kuarantin di rumah secara automatik kecuali bagi mereka yang memilih untuk kuarantin di pusat kuarantin swasta.\nDalam pada itu, pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang mengatur sesi Training for Trainers (TOT) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia kepada semua syarikat pengendali umrah yang berlesen di bawah MOTAC mengenai pemakaian SOP baharu ini. Mereka seterusnya bertanggungjawab untuk memberikan taklimat penerangan kepada jemaah di bawah kendalian mereka sebelum berlepas mengerjakan umrah." "Kota yang Hilang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nChe Long Jaafar bin Dato\u2019 Paduka Setia Long Abdul Latif merupakan pengasas kepada perkembangan bandar Taiping dan seorang jutawan bijih timah Melayu. Selain bijih timah Che Long Jaafar, beliau juga terbukti sebagai seorang pedagang dan usahawan Melayu yang berjaya dalam bidang pertanian dengan memiliki ladang kopi di Asam Kumbang, Taiping dan ladang tebu di Kerian. Tebu-tebu tersebut dieskport ke Pulau Pinang melalui Pelabuhan Kuala Gula dan diproses menjadi gula untuk menampung keperluan harian penduduk pada ketika itu.\nChe Long Jaafar ialah seorang yang berintelektual dan berpandangan jauh. Beliau juga merupakan pengasas kepada perkembangan pendidikan di Perak dengan mendirikan Sekolah Melayu di Matang Gelugor pada tahun 1826. Sekolah Melayu tersebut telah menjadi asas kepada penubuhan Maktab Perguruan Melayu di Matang yang kini merupakan bangunan Muzium Matang.\nChe Long Jaafar mempunyai kotanya sendiri yang terletak di Bukit Gantang, Perak dan merupakan kota Melayu terawal dibina dengan menggunakan bata sebagai struktur binaanya. Kota Long Jaafar dibina di kawasan lot tanah 3149, seluas 22 ekar.\u00a0 Lokasinya terletak di antara jalan raya persekutuan yang menghubungkan Kuala Kangsar ke Changkat Jering, Taiping. Che Long Jaafar menjadikan kotanya sebagai pusat pentadbiran Larut dan pusat perniagaan. Kota Long Jaafar dibina di atas sebidang tanah tinggi yang memiliki ciri-ciri keselamatan dan panorama yang indah dikelilingi oleh bukit dan sungai yang mengalir ke Selatan Melaka.\nKota Long Jaafar mempunyai tujuh penampang tembok berukuran antara 10.67 meter hingga 181.78 meter dengan ketinggian 1.5 meter hingga 2.0 meter. Kota ini dilengkapi dengan beberapa buah pintu termasuk pintu gerbang utama di sebelah barat berhadapan dengan tasik yang dikenali sebagai \u201cTakungan Menteri\u201d, menara kawalan dan parit-parit pertahanan. Tapak rumah Che Long Jaafar terletak di sebelah timur kota manakala makam Che Long Jaafar terletak di sebelah utara.\nKota Long Jaafar dilengkapi dengan gudang untuk menyimpan senjata seperti meriam, senapang, ubat bedil, lembing, tombak dan sebagainya. Beliau mempunyai pengawal-pengawal keselamatan yang terdiri daripada orang Melayu dan orang daripada keturunan Habsyi di samping pasukan bergajah, kereta lembu dan kereta kerbau yang berfungsi sebagai pertahanan dan pengangkutan. Semasa pemerintahan Che Long Jaafar, Sungai Limau merupakan pelabuhan utama ketika itu dan terletak di bawah seliaan Dato\u2019 Panglima Bukit Gantang, Orang Besar Delapan negeri Perak.\nDi hadapan Kota Long Jaafar terdapat sebuah tasik yang menganjur luas dari hulu Banjaran Gunung Bintang hingga ke kawasan jalan besar antara bandar Taiping ke Kuala Kangsar. Penduduk tempatan menyebutnya sebagai \u201cTakungan Menteri\u201d.\u00a0 Di tengah-tengah tasik tersebut dibina sebuah rumah rehat yang dihubungkan oleh sebuah jambatan. Pemadangan di tasik tersebut sangat cantik dihiasi dengan pokok-pokok seperti bunga teratai dan tanjung.\nKota Long Jaafar sering dikunjungi oleh penduduk Bukit Gantang suatu ketika dahulu terutamanya semasa Pesta Mandi Safar dengan diadakan acara lumba perahu. Che Long Jaafar seorang yang berpegang kuat pada ajaran agama Islam di samping mencari harta dunia beliau juga telah membina sebuah masjid yang terletak tidak jauh dari kotanya dan ramai guru agama dijemput mengajar di situ. Ketika itu, Larut menjadi tempat penghijrahan dan perlindungan para golongan alim ulama dari Patani yang ditindas ekoran berlakunya peperangan di Siam.\nChe Long Jaafar meninggal dunia pada 12 Jamadilakhir bersamaan Ogos 1857 dan jenazah beliau dimakamkan di kotanya. Kini, hanya tinggal runtuhan kota dan makam Long Jaafar sahaja yang menjadi bukti kegemilangan sejarah ini." "Kumpulan Spider Idam Konsert Sendiri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHulu Kelang \u2013 Kumpulan rock dan ska tanah air, Spider dikenali dan diminati ramai kerana karya dan lagu seperti Aladdin, Relaku Pujuk, Laukku Cukup Masin, Kasih Latifah, Cinta Dewa Dewi, Nazraku dan Kacap Terlabik. Nama Spider semakin menanjak apabila Relaku Pujuk, ciptaan penyanyi dan pemain gitarnya, Tam (melodi) serta Keon (lirik) menjuarai pertandingan Anugerah Juara Lagu 19 (2004) anjuran TV3.\nSetelah hampir tiga dekad berada dalam industri seni suara tanah air, Spider yang memiliki enam buah album studio, iaitu Ngam Ho (1999), Aladin (2002), Nazraku (2004), Bintang 12 (2007), Kitasatu (2010) dan Ankabut (2016) berasa sudah sampai masa untuk beraksi secara langsung dalam sebuah konsert sendiri.\nMenurut Tam atau nama sebenarnya, Rustam Mustafah, tampil dalam konsert sendiri memang idaman semua penyanyi, baik solo mahupun kumpulan. Jadi, katanya, tentulah tidak salah jika Spider turut memasang impian yang serupa.\n\u201cMemang besar harapan Spider agar dapat membuat persembahan dalam sebuah konsert sendiri, lebih-lebih lagi bersempena dengan hampir 30 tahun berada dalam industri hiburan negara,\u201d kata Tam sewaktu ditemui di Kebun Che Mah, pada 10 Februari 2022 yang lalu.\nWalaupun kehilangan pemain bass, Tony Iskandar yang meninggal dunia pada 29 Jun 2021, Spider masih bergiat dengan ahli kumpulan yang ada, iaitu Nafie (gitar utama), Aie (dram), dan pengganti Allahyarham Tony, iaitu Is.\n\u2018Sebenarnya, Spider telah mendapat tawaran daripada sebuah syarikat yang berminat untuk menganjurkan konsert. Walau bagaimanapun, kami terpaksa menolak kerana pemilik syarikat tersebut tidak menghormati serta memahami makna dan konsep kumpulan rock,\u2019 jelas Tam apabila ditanya mengenai soal itu tanpa mahu menyebutkan nama syarikat berkenaan.\nJika impian terlaksana, Tam memberitahu bahawa Spider akan membawakan kesemua lagu sendiri, tanpa lagu daripada penyanyi lain. Beliau menegaskan sedemikian sebagai menjawab persoalan yang mengatakan mana-mana penyanyi yang mahu muncul dalam konsert sendiri perlu memiliki sekurang-kurangnya 20 buah lagu terkenal dan diminati ramai.\nMengenai kegiatan terkini, Tam memberitahu beliau sedang sibuk berkolaborasi dengan penyanyi terkenal, Siti Nordiana untuk sebuah lagu tunggal terbaharu.\nTam hadir di Kebun Che Mah sebagai memenuhi undangan pemilik tempat beriadah dan pelancongan itu untuk menghiburkan rombongan dari ibu pejabat Agro Bank di Kuala Lumpur dan wakil media yang datang berkunjung. Ternyata Tam masih mantap dengan suaranya dan petikan gitar akustik mendendangkan lagu Laukku Cukup Masin, Relaku Pujuk dan Kasih Latifah.\nKebun Che Mah mempunyai reputasi tinggi kerana merupakan tempat riadah dan pelancongan yang tersenarai dalam 10 Pelancongan Eko Teratas Malaysia 2022. Terletak di Bukit Tabur, Kampung Kemensah, Hulu Kelang, Kebun Che Mah dibuka setiap hari dari pukul 7.00 pagi hingga 7.00 malam." "Isu Bahasa Orang Muda\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSering dikatakan bahawa generasi muda kini kurang menguasai bahasa sehingga bahasa yang digunakan tidak tepat, kurang teratur dan kurang santun. Pada hemat saya, kita tidak boleh membuat kesimpulan umum sedemikian walaupun ada sebahagian generasi muda yang kurang mengamalkan bahasa yang betul dan sopan. Masih ada generasi muda yang mengambil berat soal bahasa.\nUntuk berlaku adil, masalah tidak peka akan bahasa dalam komunikasi sebenarnya berlaku juga dalam kalangan orang dewasa. Saya agak aktif dalam Facebook dan WhatsApp. Saya dapati bahawa banyak juga orang dewasa yang kurang menguasai sistem bahasa sehingga mutu bahasanya tidak jauh berbeza daripada bahasa golongan muda. Malah ada yang tidak menjaga kesopanan bahasa dengan menggunakan bahasa yang kesat, kasar dan provokatif.\nHal itu secara khusus amat ketara dalam tulisan yang berkaitan dengan politik. Disebabkan oleh berlainan fahaman politik atau berlainan pendirian tentang pemimpin tertentu, perasaan diluahkan semahu-mahunya tanpa beralas dan kebanyakannya tanpa hujah yang rasional. Dalam hal ini, bahasa digunakan bukan untuk membina hubungan baik dalam masyarakat, sesuai dengan lunas \u201chablumminannas\u201c (menjaga hubungan baik sesama manusia) tetapi untuk meniupkan api perseteruan.\nAda beberapa sebab berlakunya keadaan penggunaan bahasa yang kurang baik. Pertama, pengaruh sekitaran, terutama media yang kian terbuka dalam penggunaan bahasa, termasuk dalam soal sistem bahasa seperti tatabahasa dan juga kesantunan bahasa.\nSebahagian pengendali media mengejar populariti dalam persaingan antara stesen radio atau TV. Dalam keadaan itu, timbul kecenderungan untuk mengambil hati khalayak dengan penggunaan bahasa yang dekat dengan hati khalayak, seperti bahasa basahan dan slanga yang memang tidak menitikberatkan aturan bahasa.\nPenggunaan kata dan frasa seperti \u201ckorang, kita orang, dia orang, baik punya pendapat dan pakabar\u201c serta puluhan atau ratusan yang lain lagi digunakan secara meluas. Walaupun hal itu menggambarkan realiti penggunaan bahasa masyarakat sehari-hari, media berperanan untuk memberikan teladan penggunaan bahasa yang lebih terkawal, terutama kepada generasi muda.\nDalam hal kesantunan bahasa, ada program hiburan di media elektronik yang sarat dengan bahasa yang bersifat mengadu domba dalam kalangan artis dan yang menyentuh hal yang amat bersifat peribadi.\nFaktor kedua pula berkaitan dengan sikap sebahagian generasi muda yang ingin bebas daripada norma masyarakat, termasuk norma bahasa dalam penulisan dan pertuturan. Bahasa yang mematuhi sistem bahasa dikatakan bahasa yang \u201cterlalu berskema\u201c dan bahasa orang lama atau bahasa orang tua yang tidak sesuai dengan jiwa orang muda.\nSebahagian penyumbang fenomena itu ialah media Barat yang berasaskan konsep kebebasan dan hak asasi manusia dan lesen puisi atau lesen sastera (poetic license) yang ada waktunya ditafsirkan secara salah. Sebagaimana kata pengkaji sastera yang terkenal, Dr. Umar Junus, ada penulis yang sekadar menyalahi sistem bahasa untuk kononnya menimbulkan keindahan atau kreativiti tetapi kreativiti itu bersifat tidak fungsional menurut ukuran retorik dan stilistik.\nFaktor lain yang berkaitan dengan sistem pendidikan tidak formal dalam keluarga yang kurang menitikberatkan penggunaan bahasa yang baik turut memberikan pengaruh kepada cara berbahasa generasi muda. Ibu bapa yang tidak mengamalkan\u00a0 bahasa yang santun kepada anak-anak secara langsung tidak dapat menjadi teladan kepada anak-anak. Peribahasa \u201cBapa borek anak rintik\u201c dan \u201cBagaimana acuan begitulah kuihnya\u201c menepati keadaan itu.\nSebab lain ialah pendidikan formal yang kurang berkesan apabila sistem yang ada lebih ke arah peperiksaan dan kurang untuk penggunaan dalam perhubungan luas untuk pelbagai suasana dan keperluan. Dalam keadaan keputusan peperiksaan diberi nilai utama oleh masyarakat, pelajar lebih terarah kepada penguasaan bahasa secara mekanis, dengan memenuhi tuntutan itu, dan kurang menjurus kepada penguasaan bahasa yang lebih komunikatif dan fungsional sebagai wahana kehidupan.\nKebanyakan guru pun tertekan oleh kecenderungan dan tuntutan masyarakat lalu lebih memberikan perhatian kepada aspek peperiksaan untuk \u201ckecemerlangan\u201c keputusan peperiksaan anak didiknya dan untuk menjaga prestasi sekolahnya. Semoga dengan pemberatan kepada penilaian berasaskan sekolah, aspek kemahiran bahasa sebagai salah satu cabang kemahiran insaniah dapat dipupuk.\nSebagai jalan penyelesaian masalah kerancuan bahasa, terutama dalam kalangan golongan muda, sistem pendidikan mesti dilaksanakan lebih ke arah melahirkan pelajar yang terdidik, bukan setakat terpelajar, termasuklah dalam soal bahasa. Semua bahasa di dunia ada sistem untuk suasana dan keperluan rasmi, akademik dan sebagainya di samping bahasa sehari-hari. Kini penguasaan ragam bahasa rasmi masih menjadi masalah sehingga lepasan sekolah dan pusat pengajian tinggi tidak mampu menggunakan bahasa yang berkesan apabila muncul di media walaupun berkedudukan tinggi.\nKedua, ibu bapa memainkan peranan yang penting sebagai agen sosialisasi yang awal, termasuklah dalam aspek bahasa. Bahasa perhubungan sehari-hari pun tetap tertakluk kepada nilai positif seperti kesantunan bahasa. Demikian juga soal pemupukan kecintaan dan kebanggaan kepada bahasa negara.\nKetiga, media perlu menyeimbangkan aspek populariti dengan tanggungjawab sosial, termasuklah menjadi teladan dalam penggunaan bahasa yang baik dan santun. Mitos bahawa media mempunyai gaya (house style) yang berlainan daripada sistem bahasa perlu dihapuskan. Yang sesungguhnya penting ialah mengamalkan Kara\u2019s bahasa media yang memang ada ciri-ciri khas tetapi tidak bercanggah dengan aturan asas dalam sistem bahasa. Pelajar pasti keliru apabila di sekolah diajarkan pentingnya penjodoh bilangan, sebagai contoh, tetapi media menggugurkan penjodoh bilangan dalam siarannya.\nSeterusnya golongan dewasa, apatah lagi tokoh yang berpengaruh patut menunjukkan teladan berbahasa yang baik untuk ikutan anak-anak muda. Saya dukacita menyaksikan hal yang berlaku di Parlimen, misalnya apabila sebahagian orang yang bertaraf pemimpin tidak mengawal bahasa mereka dan tingkah laku itu dipancarkan melalui media. Kata-kata yang kesat, kasar dan carut-marut seolah-olah menjadi \u201cpakaian\u201c sejumlah orang yang bergelar \u201cYang Berhormat\u201c. Di \u201cdewan yang mulia\u201c, bahasa yang digunakan sebahagiannya ialah bahasa \u201cyang tidak mulia\u201c.\nSebagai kesimpulan, bahasa sebagai wahana perhubungan dalam pelbagai peringkat dan untuk pelbagai bidang kehidupan amat perlu dititikberatkan. Kata peribahasa atau kata hikmat, \u201cBahasa menunjukkan bangsa\u201c, \u201cBahasa tidak dijual beli\u201c, dan \u201cIndah budi kerana bahasa\u201c. Bangsa yang bermaruah dan bermartabat ialah bangsa yang bertatasusila, termasuk dalam aspek penggunaan bahasa." "Jit Murad: Hilangnya Permata Seni Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSaya tidak pasti berapa ramai yang menonton atau sedar dan masih mengingati sebuah filem kempen budi bahasa yang disiarkan di televisyen negara tidak lama dahulu.\nBukanlah saya mahu berjenaka. Saya cuma mahu mengatakan watak seorang pemilik kereta yang mencerca seorang pemilik kereta lain kerana meletak kereta sehingga menghalang keretanya untuk keluar menerusi filem pendek itu dipegang oleh pelakon yang akan dinyatakan lewat tulisan ini.\nMungkin kerana lakonannya yang berkesan dalam filem tersebut yang berbaur antara kekasaran dengan kelucuan, membuatkan saya lebih mengingati beliau. Kasar apabila dia memaki hamun, sementara lucu pula semasa dia ketakutan dan masuk ke keretanya setelah cuba dipukul oleh orang yang dicercanya itu.\nWalaupun memegang watak pembantu atau sampingan, beliau merupakan antara \u201corang teater\u201d tanah air yang turut beralih ke filem, telefilem dan drama televisyen seperti Datuk Rahim Razali, Ahmad Yatim, Allahyarham Mustaffa Noor dan Nam Ron.\nAntara filem yang dibintanginya termasuklah Mat Gelap (1990), Selubung (1992), Beyond Rangoon (1995), Perempuan Melayu Terakhir (1999), Mimpi Moon (2000), Waris Jari Hantu dan 1957: Hati Malaya (2007), Talentime (2009), serta Split Gravy on Rice (2015). Menariknya, pelakon ini memegang watak Tan Sri Dato\u2019 Paduka Khir Johari yang kemudiannya menjadi Menteri Pelajaran dalam filem 1957: Hati Malaya.\nDua buah telefilem yang turut menampilkan beliau ialah Dunia Rees dan Ina (1995), dan Neon (2003), sementara drama televisyen yang dibintanginya ialah Mastura pada tahun 1998.\nPelakon ini memulakan kerjaya seninya apabila beraksi dalam teater Caught in The Middle pada tahun 1987. Kemudian, beliau tampil dalam Gold Rain and Hailstones (1992), The Storyteller (1996), Visit dan Spilt Gravy On Rice (2002), Full of Jit (2007), dan One Load of Bull Jit (2009).\nStoryteller berdasarkan tradisi percakapan Asia Tenggara. Visit pula merupakan pementasan semula versi komedi pada era 1990-an. Selain di Kuala Lumpur, Gold Rain and Hailstones turut dipentaskan di Pulau Pinang dan Singapura.\nSelepas Split Gravy On Rice, ertinya sudah tujuh tahun kelibat pelakon ini tidak kelihatan dalam mana-mana filem. Malangnya, setelah lama tidak dilihat, ternyata aksi beliau tidak akan dapat dilihat lagi, bukan sahaja dalam filem, malah telefilem, drama televisyen dan teater sekalipun. Dalam hal ini saya juga teringat kepada ramai rakan penulis yang lama tidak ditemui, yang akhirnya tidak dapat ditemui lagi kerana mereka meninggal dunia.\nDemikianlah Jit Murad, pelakon yang dimaksudkan. Jit atau nama sebenarnya, Aziz Mirzan Murad meninggal dunia pada 12 Februari 2022 yang lalu akibat serangan jantung.\nDi media sosial, berita kematian Jit turut dikongsikan oleh beberapa orang sahabatnya, termasuk Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; pelakon Redza Minhat dan Maya Karin, serta penyanyi Francesca Peter dan ramai lagi. Mereka yang pernah bekerjasama dengan Allahyarham turut berkongsi ucapan takziah, dan pengalaman.\nAntaranya ialah pelakon dan pengarah filem terkenal, Dato\u2019 Afdlin Shauki, 51 tahun, yang banyak kenangan bersama-sama Allahyarham Jit ketika awal-awal penglibatan dalam industri hiburan tanah air. Pada peringkat awal kerjaya beliau dan Harith Iskander, banyak yang dilakukan bersama-sama Allahyarham.\nMereka yang menonton persembahan komedi di pentas ataupun semasa era 1990-an hingga awal tahun 2000-an pasti mengenali nama Jit Murad. Sehubungan dengan itu, Afdlin mengaku beliau banyak belajar mengenai komedi dan penceritaan daripada Allahyarham.\nJit yang meninggal dunia di rumahnya di Bukit Damansara pada usia 62 tahun merupakan anak kepada mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Allahyarham Tan Sri Murad Mohamed Noor. Allahyarham juga ada adik lelaki yang turut aktif berlakon, menulis skrip dan menerbitkan filem, iaitu Noor Azhar atau lebih dikenali sebagai Na\u2019a Murad.\nJit dilahirkan pada 17 Januari 1960 di Kuala Lumpur dan belajar di Institut Victoria pada era 1970-an, sebelum menuntut dalam bidang perancangan bandar dan sosiologi di Chicago, Amerika Syarikat (AS). Allahyarham kemudian memperoleh ijazah sarjana dalam Sejarah Seni Abad ke-20 di San Francisco, Amerika Syarikat.\nSekembalinya ke Malaysia pada Disember 1989, Allahyarham turut terlibat dalam penubuhan Syarikat Teater Kafe Segera yang terus menarik perhatian ramai kerana menampilkan karya-karya yang menyengat dalam isu sosial dan satira politik.\nPada tahun 1993, Jit mula membantu Dramalab, sebuah badan teknologi maklumat dan komunikasi yang khusus menggalakkan penulisan bentuk baharu. Sepanjang kerjayanya, Allahyarham disegani sebagai penulis, pelakon dan penerbit teater yang berdedikasi dan dinamik. Allahyarham juga pernah bekerjasama dengan beberapa nama besar dalam industri kreatif Malaysia seperti Zahim Albakri, Jo Kukathas dan mendiang Krishen Jit.\nJit turut dikenali sebagai penulis prolifik di Asia Tenggara, selepas berjaya menghasilkan beberapa naskhah kontemporari yang pernah meraih beberapa anugerah. Spilt Gravy on Rice, misalnya memenangi empat anugerah dalam Anugerah Boh Cameronian yang berprestij tinggi.\nJasa dan pengorbanan Jit turut diabadikan dalam dua buah buku bibliografi, iaitu Jit Murad: Two Things, terbitan Rhino Press pada 1997, dan Jit Murad: Jit Murad Plays (Matahari Books/2017).\nJenazah Allahyarham Jit selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 14 Februari 2022 lalu. Menurut Na\u2019a, proses mengurus jenazah di Pusat Perubatan Universiti Malaya mengambil sedikit masa ekoran wabak pandemik, ujian COVID-19, dan bedah siasat. Jelas Na\u2019a, beliau mendapat berita kematian Jit daripada rakan-rakan baik abangnya itu yang bimbang kerana Allahyarham tidak menjawab semasa dihubungi dalam tempoh yang lama.\nAntara sahabatnya ialah Fizar Harun yang bersama-sama beberapa orang rakan lain cuba menghubungi Allahyarham kerana telah lama tidak bertemu, tetapi tiada jawapan. Mereka pun bergegas ke kondominium Jit dan mendapati Allahyarham sudah tidak bernyawa.\nPemergian Allahyarham Jit memang satu kehilangan besar bagi dunia seni negara, khususnya bidang lakonan filem, telefilem, drama televisyen, dan teater. Semoga rohnya dicucuri rahmat, ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman, dan diampuni segala dosa.\nAl-Fatihah." "Citrawarna Kembali Lagi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Citrawarna Malaysia akan kembali dilangsungkan selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2017. Pada tahun ini, Sarawak dipilih sebagai tuan rumah yang akan menganjurkan program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang bakal diadakan di Kuching Waterfront, Sarawak bermula pada 24 hingga 27 Februari nanti.\n\nCitrawarna ialah program promosi pelancongan yang memperagakan kebudayaan, pakaian, tarian dan nyanyian rakyat Malaysia. Citrawarna dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Tourism Malaysia dan pelbagai pihak lain. Menelusuri sejarah panjang Citrawarna, program ini sudah dilangsungkan sejak tahun 1999 sehingga penganjurannya yang terakhir pada tahun 2017 yang lalu.\nDalam temu bual ringkas bersama-sama saluran radio Nasional FM, Encik Radzi Omar selaku Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Acara MOTAC berkata, \u201cSuka saya untuk memaklumkan bahawa penganjuran Citrawarna pada tahun ini adalah secara fizikal tetapi terikat dengan pematuhan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Acara ini akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob pada malam 26 Februari 2022 bermula pada pukul 8.30 malam.\u201d\nMengulas lebih lanjut berkenaan dengan acara ini juga, beliau berkata, \u201cMatlamat utama penganjuran acara ini adalah untuk mendekatkan masyarakat umum khususnya di negeri Sarawak dengan kepelbagaian seni budaya dan pelancongan Malaysia. Program ini juga adalah bersempena pengiktirafan bandar raya Kuching sebagai Bandaraya Gastronomi oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).\u201d\nMenjadi hasrat kita juga untuk memberikan peluang kepada orang ramai menyaksikan sendiri Citrawarna secara fizikal terutamanya selepas lebih dua tahun kita dilanda COVID-19 dan tentu sekali matlamat utama kita adalah untuk mempromosikan seni budaya dan pelancongan khususnya di Sarawak dan umumnya di Malaysia.\nMenyentuh berkenaan dengan tema Citrawarna bagi tahun ini, beliau menjelaskan bahawa tema \u201cTemasya Kepelbagaian Bangsa\u201d dipilih bagi memaknakan fiesta kepelbagaian cara hidup, seni, budaya dan makanan rakyat Malaysia yang akan diterjemahkan melalui pelbagai pengisian Citrawarna.\n\nKonsep kepelbagaian budaya ini bakal direalisasikan melalui 14 pengisian utama yang bakal menjadi tarikan kepada pengunjung dari dalam dan luar negara untuk acara selama empat hari berturut-turut tersebut. Antara pengisian yang dirancang ialah Konsert Sape, Festival Kraf Sarawak, Peragaan Busana Kraf Tekstil Malaysia, Pameran Gastronomi, Demonstrasi Food Fusion Negeri-negeri, Food Bazaar, Festival Gendang Sarawak, pameran, jualan dan lain-lain lagi.\nObjektif utama program ini dari aspek kebudayaan adalah untuk mempromosikan kekayaan adat, seni, adat resam, kraftangan, keunikan warisan makanan dan kepelbagaian budaya kita kepada masyarakat Malaysia serta pelancong luar. Rakyat juga boleh melihat kepelbagaian cara hidup masyarakat kita di Malaysia terutamanya negeri Sarawak yang mempunyai 29 etnik dan dengan jumlah yang begitu besar pastinya mempunyai kepelbagaian cara hidup.\nPenganjuran ini tidak lain tidak adalah untuk mempromosikan pelancongan yang berkonsepkan akar budaya tempatan dengan mengetengahkan budaya dan seni autentik terutamanya yang wujud di Sarawak.\nSarawak dipilih sebagai tuan rumah bertepatan dengan identiti Sarawak sebagai \u00a0sebuah negeri yang mempunyai kepelbagaian seni dan budaya serta untuk menyamarakkan lagi kegiatan ekonomi Sarawak. Selain itu, kerajaan berhasrat untuk mendekatkan rakyat Sarawak khususnya dengan kepelbagaian budaya mereka di samping mempromosikan Sarawak yang baru diiktiraf sebagai Bandaraya Gastronomi.\nEncik Radzi menzahirkan harapan pihak kerajaan terutamanya MOTAC agar acara ini akan berakhir dengan satu program yang berjaya dan mengharapkan keluarga Malaysia khususnya rakyat Sarawak dapat hadir beramai-ramai memeriahkan acara ini. Rakyat juga diminta agar dapat mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berwajib. Beliau turut menyuarakan harapan penuh agar seni budaya warisan pelancongan bakal menjadi satu daripada sumber pendapatan utama negara yang akan membantu membangunkan negara ini." "HKK 2022 Bermula Rabu Hadapan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya atau dikenali sebagai Kraftangan Malaysia akan menganjurkan Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2022 bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay. HKK 2022 bakal berlangsung pada 23 Februari hingga 7 Mac 2022, bermula pada pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam.\n\nMenurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato\u2019 Sri Nancy Shukri, penganjuran HKK 2022 merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan usahawan serta komuniti kraf dalam membangunkan industri kraf negara.\n\nTambah beliau, \u201cBertemakan \u2018Kraf Mewarnai Keluarga Malaysia\u2019 yang menggambarkan keunikan dan keindahan produk kraf, HKK 2022 diharap dapat menceriakan kehidupan Keluarga Malaysia.\u201d\nPengunjung juga berpeluang mendapatkan tawaran baucar rebat sebanyak RM30 bagi setiap pembelian barangan kraf yang bernilai gandaan RM100.\nAyuh bersama-sama memperkasakan sosioekonomi rakyat dan menyokong produk kraf tangan tempatan dengan menyertai HKK 2022 pada minggu hadapan." "MOTAC Lancarkan Rancangan Tahun 2022 Balai Seni Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013\u00a0 Majlis Pelancaran Kalendar Program 2022 Balai Seni Negara serta Penyerahan Baucar Diskaun Pembelian Karya Seni Visual Buy Art Malaysia telah diadakan 15 Februari 2022 di Balai Seni Negara dan disiarkan secara langsung melalui laman media sosial Facebooknya. Majlis yang bermula pada jam 2.30 petang itu dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato\u2019 Sri Nancy Shukri.\nKalendar Program 2022 Balai Seni Negara merupakan rangkuman program yang telah dirancang bagi mengangkat ekosistem seni di Malaysia manakala pemberian baucar diskaun pembelian karya seni visual keluarga Malaysia pula merupakan kesinambungan daripada aspirasi keluarga Malaysia yang telah diadakan pada tahun lepas.\nDalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan pelancaran Kalendar Program 2022 Balai Seni Negara serta Penyerahan Baucar Diskaun Pembelian Karya Seni Visual Buy Art Malaysia bukan sahaja memberi makna yang besar kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam melaksanakan misinya tetapi juga amat bermakna kepada semua penggiat industri pelancongan, seni dan budaya yang amat memerlukan bantuan bagi mereka untuk bangkit semula. Tambah beliau, Balai Seni Negara diharapkan dapat meneruskan momentum kejayaan seperti yang telah dilakar pada tahun 2021 walaupun dihimpit dengan pelbagai cabaran.\n\u201cProgram Young Art Entrepreneur (YAE) membuktikan Balai Seni Negara tidak meminggirkan anak muda dalam melakar masa depan pelancongan norma baharu seiring dengan strategi kelapan Pelan Strategik 2021 \u2212 2025 MOTAC, iaitu melahirkan modal insan berilmu, berkemahiran, kreatif dan inovatif dalam sektor pelancongan, seni dan budaya, dan sebagai usahawan seni yang dapat mencipta pembaharuan yang lebih berdaya saingserta mewujudkan jaringan hubungan perniagaan baharu,\u201d ucap beliau dalam majlis tersebut.\nProgram YAE yang bermula sejak tahun 2017 telah menghasilkan seramai 89 orang pelajar melalui enam kohort dan dijangka seramai 240 orang usahawan seni dapat dihasilkan dalam tempoh lima tahun akan datang.\nPusat Repositori dan Konservasi Seni Negara atau Art Hospital yang bercirikan futuristik yang akan dibuka kepada orang ramai bakal emnjadi satu lagi produk pelancongan dan kebudayaan baharu di negara kita.\nSelain dua program yang disebutkan oleh Menteri MOTAC dalam ucapan beliau, terdapat pelbagai program lain yang bakal dianjurkan oleh Balai Seni Negara pada tahun ini. Antaranya adalah seperti Program Kem Seni Pedalaman: Bakun Experience 2022 pada Mac; Program Community Based Tourism (CBT) Arca Awam di perairan Pulau Langkawi; Program Jejak Seni Malaysia; Program Keluarga Seni Malaysia \u201cArt to Heart\u201d; dan Program Jerayawara Seni Dwimusim (biennale) di Terengganu.\nTurur hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Hajah Saraya binti Arbi, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Dato\u2019 Indera Dayang Fatimah Tom Abang Saufi, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Encik Ameruddin Ahmad serta barisan pengurusan tertinggi MOTAC." "Senandung Melayuku: Lagu Lama yang Tetap Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Buloh \u2013 Selepas album solonya yang keenam, Sang Pencinta pada tahun 2006 yang memuatkan lagu terkenal, Juwita . (Citra Terindah), Dato M. Nasir tidak lagi muncul dengan album terbaharu, atau yang menjadi kelaziman sekarang, lagu tunggal.\nDato\u2019 M. Nasir atau nama sebenarnya, Mohamad Nasir Mohamed hanya muncul dengan kolaborasi bersama-sama Malique untuk lagu Mantera Beradu pada tahun 2010, serta Kmy Kmo dan Luca Sickta dalam lagu Zuhud (2019), yang mendapat sambutan hangat.\nWalaupun dari semasa ke semasa pihak M. Nasir menyatakan beliau akan muncul dengan album baharu dan sedang dalam proses penerbitan, tetapi para peminat masih menanti seperti \u201cmenunggu buah yang tak gugur\u201d.\nPada akhirnya, tahun 2022 menyaksikan penantian para peminat M. Nasir berakhir apabila penyanyi, pelakon, pengarah dan penerbit tersohor itu muncul dengan lagu tunggal baharu berjudul Senandung Melayuku.\nMelihat pada judul sedemikian, amat jelas M. Nasir masih dengan jati diri beliau sejak awal yang cenderung mencipta dan mendendangkan lagu-lagu mengenai kemanusiaan, keagamaan, kebudayaan bangsa dan perjuangan hidup.\nMelodi Senandung Melayuku ialah ciptaan M. Nasir sendiri bersama-sama komposer dari Amerika Syarikat, Brad Parker. \u201cTanah ini Kampung Kencana\u201d merupakan kata-kata pujangga yang menjadi sebahagian daripada lirik lagu ini yang ditulis oleh Keon.\nParker juga seorang penerbit album yang banyak berjasa kepada industri muzik di negaranya. Banyak lagu ciptaannya dinyanyikan oleh penyanyi terkenal Amerika Syarikat seperti Cher, Richard Page dan Kieran Goss. Andy Lau dari Hong Kong dan Jaya (Filipina) turut mendapat sentuhan beliau.\nBegitulah M. Nasir dengan identiti beliau meskipun dinyatakan sebenarnya lagu ini telah berusia 24 tahun. Senandung Melayuku telah dicipta dan dirakamkan pada tahun 1998, yang merupakan antara empat buah lagu dalam sebuah projek album antarabangsa kerjasama Luncai Emas Sdn. Bhd., dengan bekas syarikat rakaman antarabangsa, BMG Publishing.\nAkibat kekangan dasar tertentu pada ketika itu, Senandung Melayuku dan sebuah lagi lagu, I Have a Name gagal dilancarkan sehingga hilang tanpa haluan. Walau bagaimanapun, jelas Keon, empat buah lagu berjaya juga dirakamkan kemudian pada tahun 1988, termasuk Senandung Melayuku.\nMungkin ada dalam kalangan peminat yang kurang berpuas hati kerana lagu tunggal terbaharu M. Nasir ini lagu lama. Namun begitu, hal ini tidak aneh kerana beberapa orang penyanyi sebelum ini pernah muncul dengan lagu lama, sama ada sendiri atau penyanyi lain sebagai lagu tunggal terbaharu mereka.\nSebagai contoh, Man Bai muncul kembali dengan lagu popularnya, Kau Ilhamku; kumpulan Raihan merakamkan semula Sesungguhnya bersama-sama Alif Satar; Bagio Damasutra dengan Umpama Mimpi dalam Mimpi; dan kumpulan Gerhana Ska Cinta pula menerusi Ya Habibi Ali Baba.\nHal yang demikian tiada salahnya dan bukan tanda ketandusan ilham. Persoalan jati diri bangsa dan kemantapan beragama tidak akan berhenti disentuh dalam karya seni, termasuk lagu.\nSecara kebetulan dan oleh sebab M. Nasir sudah lama tidak muncul dengan album atau lagu tunggal baharu, ujar Keon, Luncai Emas mengambil keputusan untuk meluncurkan Senandung Melayuku di YouTube Luncai Emas Sdn. Bhd.\n\u201cSaya sebenarnya terkejut apabila diminta menulis lirik untuk Senandung Melayuku. Saya tidak menyangka M. Nasir meminta saya menulis lirik untuk lagu nyanyian beliau sendiri,\u201d ujar Keon yang merupakan penulis lirik yang tidak asing lagi dalam industri muzik tanah air.\nMenurut Keon, Senandung Melayuku memang untuk dendangan M. Nasir, dan pastilah beliau meletakkan harapan serta jangkaan tinggi kepadanya agar menghasilkan lirik terbaik. Tambah Keon, beliau bersyukur M. Nasir terus menerima, dan merakamkan suaranya.\nSepanjang bersama-sama dan membantu kerjaya muzik M. Nasir, jelas Keon, beliau tidak pernah meminta atau bertanya untuk menulis lirik lagu yang seniman besar itu nyanyikan. \u201cSebagai pencipta melodi, M. Nasir ada pilihan dalam menentukan penulis lirik yang sesuai untuk lagu-lagu nyanyiannya,\u201d jelas Keon.\nBanyak lirik karya Keon yang terkenal seperti Relaku Pujuk oleh kumpulan Spider, Kejoraku Bersatu dendangan kumpulan Search, Joget Angan Tak Sudah (Jay Jay), Tunggu Aku Datang (Hazama), Di Bayang Awan (Dato\u2019 Awie) dan Raguku (Ella).\nJika dilihat, kebanyakan lagu nyanyian M. Nasir menggunakan lirik tulisan Allahyarham Loloq atau nama sebenarnya, Rosli Khamis selepas era S. Amin Shahab. Tegas Keon, memang tidak dapat disangkal bahawa M. Nasir serasi bersama-sama Allahyarham Loloq.\nPada tahun lalu, Senandung Melayuku menjadi lagu pembukaan Mathnawi, sebuah dokumentari pendidikan RTM sebanyak 13 episod terbitan Luncai Emas yang menceritakan tentang sejarah karya-karya agung lama Tanah Melayu seperti Hikayat Hang Tuah, Syair Siti Zubaidah, Gurindam 12, Sulalat u\u2019s-Salatin, Bustanus Salatin, Hikayat Merong Mahawangsa dan Pelayaran Abdullah. Hasil tinjauan mendapati ramai yang menyukai bunyi-bunyian alat muzik dalam Senandung Melayuku kerana enak didengar, sekali gus mengakui kehebatan kolaborasi antara M. Nasir dengan Parker.\nMengenai usia lagu tersebut, Team Luncai Emas berpendapat, Senandung Melayuku jarang-jarang didengari serta tidak diketahui para peminat seni suara. Justeru, sebuah video lirik rasmi untuk lagu tunggal ini telah pun sedia dimuat naik ke laman YouTube Luncai Emas untuk tontonan semua.\nSenandung Melayuku juga boleh didengari di semua pelantar digital seperti Spotify, Deezer dan JOOX. Sejak mula dimuat naik di YouTube pada 24 Januari 2022 yang lalu, Senandung Melayuku mendapat maklum balas yang sangat positif daripada para peminat.\nLuncai Emas berharap kemunculan Senandung Melayuku dapat mengubat rindu semua peminat M. Nasir dan masyarakat di luar sana yang sentiasa menyokong kerjaya beliau dan semestinya telah lama menanti karya terbaharunya." "Anugerah Buku Negara 2022 \u2012 DBP Raih Tiga Anugerah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAYER KEROH \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada hari ini menerima tiga anugerah berprestij dalam majlis Anugerah Buku Negara 2022. Majlis yang berlangsung di Panggung Seri, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Melaka, merupakan pengiktirafan daripada Yayasan Pembangunan Buku Negara; Majlis Profesor Negara; dan Lembaga Bahasa Melayu Melaka.\nDalam majlis tersebut, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran dinobatkan sebagai Tokoh Penggerak Penerbitan Buku Negara dan Kemasyarakatan. Penganugerahan tersebut mengambil kira usaha dan komitmen beliau dalam memperbanyak penerbitan buku dalam pelbagai bidang di samping menggalakkan inisiatif penulisan dan kesusasteraan di negara ini. Anugerah tersebut disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam.\nKetika berucap dalam majlis tersebut, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin berkata, \u201cDBP sebagai institusi yang diberikan amanah sebagai badan pembudaya ilmu dalam bahasa Melayu akan terus bergerak dan memperkasakan penerbitannya. Seiring dengan perubahan teknologi, DBP memperluas wahana penerbitan secara digital dan yang terbaharu, membangunkan pelantar digital, JendelaDBP. Usaha pendigitalan ini diharap akan terus memandaikan anak bangsa melalui bahasa Melayu.\u201d\nTambah beliau, \u201cBahasa Melayu telah menjadi wahana pengikat perpaduan yang ampuh, mewujudkan rasa kasih sayang dan muhibah dalam kalangan masyarakat Malaysia seiring dengan teras kebersamaan dalam Keluarga Malaysia.\u201d\nDalam majlis yang sama juga, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat, turut dinobatkan sebagai penerima Tokoh Penggerak Penerbitan Buku Negara dan Kemasyarakatan. Sebagai pengemudi jabatan terpenting di DBP, Tuan Haji Razali Che Mat yang merupakan anak jati Melaka menanam visi dan misi untuk terus merancakkan penerbitan buku sama ada secara bercetak atau digital bagi memastikan DBP sebagai gedung ilmu akan terus berperanan penting untuk membina bangsa Malaysia yang berilmu tinggi.\nYang turut menerima anugerah pada majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi. Beliau dinobatkan sebagai Penulis Contoh Mewarisi Peradaban Melayu Islam. Mengulas mengenai penganugerahan ini, Dr. Abang Patdeli berkata, \u201cPenganugerahan ini diberikan kepada pegawai tinggi DBP dalam bidang persuratan khususnya dalam penerbitan buku. Perkara ini merupakan nilai tambah yang perlu ada pada pegawai tinggi DBP supaya menjadi suri teladan untuk terus melibatkan diri dalam pelbagai bidang di luar tugas rasmi masing-masing.\u201d\nMajlis yang dianjurkan oleh Biro Sosiobudaya dan Warisan, Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), turut mengiktiraf 27 orang penerima yang lain menerusi empat kategori anugerah, iaitu Anugerah Penulisan Buku Biografi dan Autobiografi; Penulisan Buku Sejarah, Sosiobudaya dan Warisan; Penulisan Buku Contoh Negara; dan Tokoh Penggerak Penerbitan Buku.\nMajlis tersebut menjadi lebih bermakna apabila Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam menjadi penerima utama Anugerah Buku Negara dalam Kategori Tokoh Kepimpinan Penerbitan Buku Negara. Beliau menerima Gubahan Tanjak sebagai persembahan utama, trofi dan sijil.\nAnugerah Buku Negara mula dianjurkan pada tahun 2010 dan buat julung-julung kalinya, Melaka menjadi negeri pertama yang memberikan anugerah bagi mengiktiraf jasa dan sumbangan penulis dari Melaka dan penulis luar yang menulis tentang Melaka. Menurut Ahli Majlis Penasihat Warisan Peradaban Melayu, Lembaga Bahasa Melayu Melaka, YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, \u201cTiga anugerah yang diberikan kepada DBP adalah berdasarkan kepimpinan yang baik yang ditonjolkan oleh ketiga-tiga orang penerima anugerah. Mereka memahami fokus kerja masing-masing dan mudah berunding dengan pelbagai pihak. Oleh itu, ketiga-tiga pemimpin tinggi DBP tersebut sememangnya layak menerima anugerah dalam majlis hari ini.\u201d\nBertindak sebagai antara tulang belakang yang menjayakan majlis ini, YBhg. Tan Sri Abdul Latiff turut berkata, \u201cDiharapkan negeri lain dapat mencontohi usaha yang dilakukan oleh negeri Melaka pada hari ini melalui perundingan bersama-sama Yayasan Buku Negara serta perancangan secara teratur sehingga membolehkan buku kita diiktiraf pada peringkat antarabangsa. Apa-apa yang penting, penganugerahan ini diharap dapat menyuntik semangat dalam kalangan penulis baharu dan seterusnya membolehkan buku yang dihasilkan menjadi rujukan buat para pembaca.\u201d" "Meningkatkan Persefahaman dan Mengurangkan Perbezaan dalam Keluarga Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAyer Keroh \u2013 Biro Sosiobudaya dan Warisan, Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Yayasan Buku Negara, Majlis Profesor Negara serta Lembaga Bahasa Melayu Melaka telah menganjurkan Bicara Intelek Seni: Warisan Peradaban Melayu Teras Jati Diri Keluarga Malaysia, bertempat di Panggung Seri, Kompleks JKKN Melaka, petang tadi. Program ini juga disiarkan secara dalam talian melalui laman sosial DBP dan Facebook JKKN Melaka FanPage.\nProgram ini menampilkan tiga orang ahli panel, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola DBP merangkap Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan; Ahli Majlis Penasihat Warisan Peradaban Melayu, Lembaga Bahasa Melayu, YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar; Pengerusi Persatuan Kebudayaan Han Malaysia, YBhg. Dato\u2019 Goh Hin San; dan Pengarah JKKN Melaka, Puan Ezlina Alias yang bertindak sebagai moderator.\nProgram Bicara Intelek Seni ini membincangkan citra kedamaian dan keharmonian Malaysia yang diterjemahkan dalam pelbagai variasi sebagai simbol apresiasi kepada masyarakat. Naratif asas perbincangan tersebut adalah berkisar tentang Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971 dan setelah 50 tahun DKK dilaksanakan, dasar ini digantikan pula dengan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, pada 26 Oktober 2021 yang lalu. Berdasarkan ucapan pelancaran beliau, dasar baharu ini merupakan sebuah dokumen yang holistik, yang bakal dijadikan panduan dan rujukan dalam merencana segenap pembangunan seni, budaya dan warisan negara.\nBerbicara mengenai peranan budaya ilmu atau budaya nilai tinggi dalam DAKEN yang dikatakan dapat membentuk teras jati diri, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang menyatakan bahawa dalam hal ini, masyarakat tidak dapat lari daripada sorotan sejarah. Menurut beliau, sejak zaman Dinasti Tang pada abad ketujuh lagi dan ketika era Srivijaya di alam Melayu, telah wujud jalinan persefahaman antara bangsa Melayu dengan China dan kemuncaknya adalah pada abad ke-12.\nItulah asas yang penting baik di China mahupun di Malaysia, dan asas itu yang menjadi titik persefahaman kita. Hal ini terbukti pada hari kemerdekaan yang memperlihatkan keikhlasan budi baik orang Melayu menerima rakan-rakan dari tanah besar China dan India sebagai satu warganegara. Dalam hal ini, terdapat empat perkara yang dijadikan sebagai asas, iaitu kedudukan Islam sebagai agama persekutuan; kedudukan raja-raja Melayu; kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; kedudukan orang Melayu sebagai bumiputera; dan hak-hak sah kaum lain.\n\u201cPada hakikatnya, kadang-kadang kita terlupa tentang perkara kelima yang disebutkan ini, iaitu kaum lain juga mempunyai hak yang sah di negara ini. Inilah ilmu yang perlu disemaikan dalam kalangan masyarakat kita. Hayati makna budaya ilmu dan asas kebudayaan dalam membangunkan Keluarga Malaysia,\u201d tambah beliau.\nMenurut YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang lagi, pantun merupakan satu daripada wadah untuk memupuk keharmonian masyarakat. Mengulas mengenai perkara ini, beliau berkata, \u201cBerkaitan dengan peranan pantun dalam memupuk persefahaman dan perpaduan, seorang profesor senior di China membuktikan bahawa pantun Melayu persis lagu rakyat di Selatan China dan hal ini turut disokong oleh anak muridnya.\u201d Oleh itu, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang menyarankan:\nBanyakkan persefahaman, mencari persamaan, dan kurangkan perbezaan. Inilah formula utama yang perlu kita pegang dan hayati bersama-sama.\nMenerusi Bicara Intelek Seni itu, YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff menyatakan bahawa DAKEN dirangka berdasarkan sejarah, perlembagaan dan kerajaan yang memerintah dan perkara ini perlu dijelaskan kepada masyarakat melalui sistem pendidikan, pemerintahan, penguatkuasaan undang-undang serta penggunaan bahasa dan komunikasi yang baik.\nMenurut beliau, \u201cSebagai Keluarga Malaysia, kita meraikan kebebasan berbudaya dan beragama. Perkara yang paling utama ialah nilai hormat-menghormati. Inilah kekuatan kita. Kita martabatkan pantun, busana, warisan serta peradaban yang kita ada. Antara inisiatif yang boleh dilakukan untuk merealisasikan hal ini adalah dengan menerapkannya dalam kehidupan terutamanya menerusi sistem pendidikan negara.\u201d\nPerjuangan saya adalah dengan terus berjuang melalui Biro Sosiobudaya DMDI dan juga menerusi tugas saya sebagai pensyarah peradaban Melayu. Berjuang dan terus berjuang, semua pihak perlu bersama-sama mengadakan program yang sistematik secara berterusan, menghidupkan kembali \u2018Kampung Buku\u2019 yang pernah dicetuskan oleh Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam suatu ketika dahulu, serta menjalankan kegiatan bagi memartabatkan warisan yang mampu mewujudkan perpaduan dalam kalangan ahli keluarga dan masyarakat yang berbilang bangsa.\nMengulas mengenai penggarapan keharmonian dalam sistem integrasi budaya pula, YBhg. Dato\u2019 Goh Hin San berkata, \u201cPusat Kebudayaan Han Malaysia pernah menganjurkan kem bahasa dan budaya kepada orang Cina di seluruh negara berkaitan dengan adat istiadat orang Melayu, contohnya dari sudut adat merisik dan meminang, pembinaan pelamin, persembahan kompang dan acara balas pantun dalam perkahwinan. Yang menariknya dalam soal ini, anak-anak saya sendiri yang mengajarkannya kepada masyarakat Cina yang lain.\u201d\nBeliau berkata, \u201cBiarpun berbeza agama namun hal ini jelas menunjukkan bahawa di Malaysia, budaya mengatasi segala perbatasan. Setelah dikaji dan diteliti, pada hakikatnya peradaban Melayu hampir 70 peratus persamaannya dengan peradaban Cina. Itulah yang mengikat pertalian muhibah dan keharmonian pelbagai kaum di negara ini.\u201d\nProgram ini turut menyediakan acara pameran lukisan negeri Melaka oleh pelukis negara, Ismail Embong, dan rakan-rakan di lobi Panggung Seri, JKKN Melaka. Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam berkesempatan meluangkan masa bertemu dengan para pelukis sebelum acara bermula." "Festival Kraf Tekstil Pantai Timur Tingkatkan Kesedaran terhadap Penggunaan Barangan Kraf Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuantan \u2013 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Kraftangan Malaysia sekali lagi menganjurkan Festival Kraf Tekstil Pantai Timur pada tahun ini. Penganjuran festival yang memasuki tahun ketiga ini berlangsung selama sepuluh hari yang bermula dari 17 Februari 2022 hingga 26 Februari 2022, bertempat di East Coast Mall, Kuantan, Pahang. Festival yang berlangsung pada kali ini dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam melibatkan sebanyak 60 lot jualan usahawan kraf dengan sasaran nilai jualan sebanyak RM1.5 juta.\nFestival Kraf Tekstil Pantai Timur mengetengahkan pelbagai aktiviti untuk para pengunjung seperti pameran produk baharu kraf tekstil dan demonstrasi kraf tekstil melibatkan tenun diraja Pahang, songket dan batik. Bukan itu sahaja, festival kali ini juga dimeriahkan dengan penganjuran aktiviti peragaan fesyen kanak-kanak, pertandingan mengarang tanjak, pertandingan mewarna batik dan pertandingan permainan congkak.\nMajlis perasmian festival ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr. Santhara J.P. pada 19 Februari 2022 yang turut diserikan dengan peragaan fesyen yang menampilkan tekstil kraf tenun Pahang diraja mewakili negeri Pahang, songket bagi negeri Terengganu dan batik mewakili negeri Kelantan. Kesemua koleksi teksil yang diperagakan merupakan hasil daripada usahawan kraf dan pelajar Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam.\nPenganjuran festival selama sepuluh hari ini diharap dapat meningkatkan kesedaran buat seluruh Keluarga Malaysia terhadap penggunaan produk kraf Malaysia terutamanya kraf tekstil yang berkualiti dan terkini seperti songket dan batik. Usaha penganjuran ini juga adalah selari dengan pengisytiharan Hari Batik Malaysia pada 3 Disember 2021 yang menggalakkan pemakaian produk kraf tekstil terutamanya batik oleh penjawat sektor awam, swasta dan keluarga Malaysia amnya." "Warna-Warni Kebudayaan Negeri Selangor dalam Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Tourism Selangor meneruskan inisiatif mempromosikan pelancongan dalam negara dengan menyertai Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang\u00a0 berlangsung selama 4 hari bermula 24 hingga 27 Februari 2022 ini di Waterfront Kuching, Sarawak.\nProgram Citrawarna Keluarga Malaysia ini merupakan\u00a0 program anjuran Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) Malaysia dan Kerajaan Negeri Sarawak untuk mempromosikan pelancongan yang bertemakan akar budaya tempatan dengan mengetengahkan tradisi seni dan budaya autentik yang merupakan wadah penyemarakan pelancongan, seni dan budaya di Malaysia.\nProgram ini juga sejajar dengan objektif utama pihak penganjur bagi mempromosikan kepada masyarakat di dalam dan luar negara tentang kepelbagaian seni budaya, adat resam, kraf tangan tempatan dan keunikan makanan warisan, serta permainan tradisional di Malaysia, seterusnya menyemarakkan dan merancakkan lagi sektor pelancongan domestik negara.\nDengan tema \u201cTemasya Kepelbagaian Budaya\u201d, Tourism Selangor menyahut seruan pihak MOTAC dengan mengetengahkan keunikan warna-warni kebudayaan negeri Selangor dalam program ini yang tidak terhad kepada elemen kebudayaan, kraf tangan dan busana, tradisi serta warisan, malah juga gastronomi yang merupakan satu daripada tarikan pelancongan negeri ini.\nTourism Selangor turut mempromosikan Program Hos Komuniti Selangor sebagai pengisian pameran untuk pakej dan perkhidmatan yang berasaskan pelancongan eko dan warisan di negeri Selangor secara terus kepada para pengunjung. Hal ini merupakan satu program kerjasama bersama pihak MOTAC yang akan diketengahkan oleh pihak Tourism Selangor kepada orang ramai.\nDelegasi negeri Selangor ke negeri Sarawak diketuai oleh Tuan Azrul Shah Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, dan inisiatif ini adalah bertepatan dengan visi Agensi Promosi Pelancongan Rasmi Negeri Selangor dalam memperkukuh Kempen Pelancongan Domestik; \u201cPusing Selangor Dulu\u201d, yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, khususnya pengguna media sosial.\nJusteru, untuk warga negeri Sarawak dan yang berada di sekitar Bandar Kuching, jangan lepaskan peluang untuk menyertai dan melilhat sendiri keunikan kebudayaan negeri Selangor secara terus, mahupun mendapatkan pakej pelancongan menarik yang ditawarkan khas, hanya di Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 ini.\nUntuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di www.selangor.travel atau ikuti kemaskini Tourism Selangor di laman media sosial Facebook, Instagram, Twitter, saluran YouTube dan aplikasi TikTok. #PusingSelangorDulu!" "Kemeriahan Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Tebingan Kuching\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Tebingan Kuching kembali meriah dengan pameran dan persembahan sempena berlangsungnya Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 selama empat hari, bermula pada 24 hingga 27 Februari 2022. Program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak ini kembali menemui khalayak dalam acara pelancongan selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2017.\nMajlis pelancaran Malam Gala Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 24 Februari 2022 menampilkan persembahan penuh warna-warni dengan tema kesenian serta kebudayaan, yang diadakan di atas pentas terapung di Sungai Sarawak. Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut hadir dalam majlis pelancaran yang disaksikan oleh warga Bandar Raya Kuching dengan mematuhi Tatacara Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengekang penularan wabak COVID-19. Hanya 350 pengunjung dibenarkan memasuki tapak program pada satu-satu masa dan perlu mendaftar bagi mendapatkan pas masuk bernombor di laluan masuk utama.\nMenteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC), Yang Berhormat (YB) Dato\u2019 Sri Hajah Seri Nancy Shukri berkata, \u201cPemilihan Tebingan Kuching sebagai lokasi penganjuran bertepatan dengan tema \u2018Temasya Kepelbagaian Budaya\u2019 apabila kita mempamerkan kepelbagaian budaya yang terdapat di Sarawak kepada orang luar.\u201d Tambah YB Dato\u2019 Sri Hajah Seri Nancy, konsep pentas terapung untuk acara kebudayaan serta persembahan artis tanah air merupakan antara kelainan yang ternyata menarik perhatian ramai. Mengulas tentang sasaran pengunjung, beliau yakin Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Kuching ini mencapai atau melebihi 50 000 sasaran pengunjung sepanjang empat hari penganjuran Citrawarna di Tebingan Kuching.\nPelbagai aktiviti telah berlangsung untuk hiburan pengunjung, antaranya Festival Gendang Sarawak, Festival Kraf Sarawak, Peragaan Busana Kraf Tekstil Malaysia, Pameran Gastronomi, Demonstrasi Food Fusion Negeri-negeri dan Konsert Sape. Acara lain yang dilihat berjaya menarik kedatangan pengunjung ke Tebingan Kuching ialah pameran makanan tradisional, persembahan bunga api, perarakan perahu tambang, muzikal air pancutan dan persembahan artis popular tanah air dan artis tempatan negeri Sarawak. Sebanyak 53 pengusaha kraf tangan dari seluruh negara mempamerkan produk masing-masing di tapak program Citrawarna yang mengisi setiap ruang yang ada di Tebingan Kuching.\nMatlamat utama penganjuran Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 adalah untuk mendekatkan masyarakat umum, khususnya warga yang berada di Sarawak dengan kegiatan seni budaya dan pelancongan Malaysia serta mempromosikan Bandar Raya Kuching sebagai Bandar Raya Kreatif pada peringkat Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori gastronomi \u2013 World Craft City.\nSelain itu, uniknya Citrawarna pada kali ini ialah penganjuran Konsert Sape yang menghimpunkan 257 pemain sape di sepanjang Tebingan Kuching, termasuk di Jambatan Darul Hana pada malam terakhir pada 27 Februari 2022. Konsert Sape bertajuk \u201c\u201cRentak Kamek Urang\u201d ini berjaya mencatat rekod sebagai persembahan pemain sape teramai dalam satu acara dan tercatat dalam Malaysia Book of Records. Persembahan sape yang cukup memukau halwa telinga khalayak ini menampilkan nama-nama besar dalam persembahan muzik sape seperti Mathew Ngau Jau, Jerry Kamit dan pelbagai kumpulan muzik sape dari seluruh Sarawak.\nSelain persembahan sape, acara penutup Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 juga menampilkan persembahan oleh penyanyi tanah air seperti Datuk Jamal Abdillah, Dewi Liana Seriasta, Bob Akademi Fantasia, Dayang Nurfaizah, Adrewson, \u00a0Nicole Lai, Magen, Fendi Kenali dan penyanyi lagu rakyat, Roslan Madun. Persembahan nyanyian, kebudayaan dan kesenian yang berlangsung selama empat hari diadakan di atas pentas terapung di Sungai Sarawak yang merupakan pentas terapung terbesar yang pernah dibina oleh MOTAC." "Perkataan \u201cia\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nMenurut guru saya, perkataan \u201cia\u201c digunakan untuk merujuk manusia. Namun demikian, saya selalu melihat perkataan itu digunakan dalam sajak untuk merujuk sesuatu yang bukan manusia. Bolehkah perkataan \u201cia\u201c digunakan untuk merujuk sesuatu yang bukan manusia jika digunakan dalam sajak, pantun, syair, seloka dan sebagainya?\n\u00a0Daripada:\nShasha Kadir,\nTanjung Agas, Muar, Johor." "Persembahan Sape Catat Rekod dalam Malaysia Book of Records\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Tebingan Kuching bergema dengan alunan petikan sape yang dipersembahkan oleh gabungan seramai 257 orang pemuzik sape. Ternyata persembahan alat muzik tradisional Sarawak itu memukau khalayak yang hadir menyaksikan konsert sape yang berlangsung pada Ahad malam, 27 Februari 2022. Konsert sape yang bertajuk \u201cRentak Kamek Urang\u201d itu merupakan salah satu pengisian program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang bertemakan \u201cTemasya Kepelbagaian Budaya\u201d.\n\nAcara penuh bersejarah yang berlangsung dalam suasana meriah ini sekali gus dicatatkan dalam Malaysia Book of Records. Kejayaannya tersenarai dalam Malaysia Book of Records kerana mencatat rekod pemuzik sape teramai dalam satu acara. Penyerahan sijil Malaysia Book of Records disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Malaysia Book of Malaysia, Christopher Wong kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Saraya Arbi.\nKonsert Sape \u201cRentak Kamek Urang\u201d turut menampilkan kelainan tersendiri apabila persembahannya diadakan di Jambatan Darul Hana yang menjadi ikonik Bandar Raya Kuching, selain di pentas utama yang terapung di Sungai Sarawak. Seramai 100 pemain berada di pentas terapung, manakala selebihnya berada di Jambatan Darul Hana dan sekitar Tebingan Kuching.\nSebelum ini, persembahan muzik sape telah mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records bagi persembahan oleh seramai 207 pemain sape sempena sambutan Ulang Tahun Kesembilan Hari Bandar Raya Miri pada tahun 2015. Kemudian, sekali lagi persembahan sape terakam dalam Malaysia Book of Records bagi persembahan sape terpanjang (50 jam) tanpa henti yang juga berlangsung di Miri pada tahun 2019.\nKonsert sape \u201cRentak Kamek Urang\u201d dimulakan dengan persembahan secara medley yang memainkan lagu sape tradisional seperti \u201cPut Burui\u201d, \u201cSai Ulai\u201d dan \u201cLeleng\u201d. Beberapa pemain sape terkenal seperti Jerry Kamit, Mathew Ngau Jau dan Aaron Alan Robert turut serta dalam persembahan sape yang terakam dalam Malaysia Book of Records. Selain pemain sape, konsert sape turut menampilkan persembahan oleh artis tanah air Bob Yusof, Dewi Liana Sariestha, Jimmy Palikat, Ricky Andrewson Ngalai, Melissa Francis, dan Roslan Madun, termasuk kumpulan At Adau dan Meruked.\nPersembahan sape yang juga tersenarai dalam agenda pelancongan negeri Sarawak khususnya dan Malaysia amnya turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Saraya Arbi dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.\nKonsert yang diadakan secara bersemuka dan disiarkan secara langsung melalui media sosial itu bermatlamat untuk memupuk nilai-nilai murni dan semangat kekeluargaan bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) seni budaya pelbagai kaum di Sarawak. Persembahan sape yang merupakan alat muzik suku kaum Orang Ulu, iaitu Kenyah dan Kayan menjadi acara penutup program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang berlangsung pada 24 hingga 27 Februari 2022." "Jari Neraka Bendung Penyalahgunaan Media Sosial\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSubang Jaya \u2013 Lambakan rancangan hiburan, termasuk rancangan realiti televisyen bercorak hiburan di negara kita bukan perkara yang baik. Dengan kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) pada hari ini, perkembangan tersebut membimbangkan dan wajar dibendung.\nKecanggihan TMK pula mencetuskan satu gejala tidak sihat, iaitu fitnah menerusi media sosial. Memang malang jika tiada usaha walaupun kecil untuk membendungnya. Fitnah menerusi media sosial yang merupakan satu penyalahgunaan TMK memang menarik walaupun jelik kerana hal yang demikian semakin menguasai kehidupan rakyat Malaysia masa kini.\nNamun demikian, kita boleh bersyukur kerana masih ada pihak yang menyedari, lantas terdorong untuk berusaha menangani penyalahgunaan media sosial ini. Antaranya ialah pelakon dan pelawak terkenal, Tauke Jambu atau nama sebenarnya, Zamatul Amri Zakaria.\nMenerusi syarikat produksi, Rentak Sehati Sdn. Bhd., Tauke, 46 tahun, yang juga Pengarah Urusan syarikat tersebut mendapat ilham untuk menerbitkan sebuah rancangan realiti yang diberikan nama Jari Neraka.\nMenurut Pengurus Produksi Rentak Sehati Sdn. Bhd., Ahmad Qusairy Faudzi, penerbitan Jari Neraka bertujuan untuk memberikan kesedaran mengenai penyalahgunaan media social. Akan tetapi, pada peringkat permulaan ini, Jari Neraka belum atau kurang meluas kerana penyiarannya menerusi saluran YouTube sahaja. Diharapkan sebagaimana yang dibayangkan oleh Ahmad Qusairy, penyiaran Jari Neraka akan lebih meluas, termasuk di televisyen untuk musim keduanya nanti.\nQusairy menyatakan sedemikian dalam ucapan alu-aluannya semasa majlis pelancaran Jari Neraka pada 21 Februari 2022 lalu di Reevo Merchant Lounge, [email\u00a0protected] City. Pelancaran Jari Neraka disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Zahidi Zainul Abidin. Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Zahidi mengakui penyalahgunaan media sosial wajar dibendung.\n\u201cGejala ini tidak boleh dibiarkan kerana amat berbahaya. Keadaan yang baik akan bertukar buruk akibat fitnah tidak kira kepada siapa-siapa sama ada perseorangan, kumpulan, masyarakat, bangsa dan negara,\u201d tegas Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar.\nSelain Datuk Zahidi, Tauke Jambu dan Qusairy, majlis berkenaan turut dihadiri Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi; pelakon sensasi, Iqram Dinzly yang turut menjadi tetamu undangan Jari Neraka, dan aktivis masyarakat (mantan pelakon), Lando Zawawi.\nAntara lain, majlis pelancaran Jari Neraka juga diisi oleh gimik pelancaran dan runut bunyi Jari Neraka, tayangan eksklusif Jari Neraka, sumbangan kepada Presiden Seniman dan pemberian cenderahati kepada tetamu jemputan khas." "Pak Rossem: Kartunis Sepanjang Zaman\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRossem bukanlah nama asing dalam dunia kartun. Pelukis kartun profesional dengan nama Rosidi Semail ini dilahirkan pada tahun 1948 di Kelantan. Beliau mula berkecimpung dalam bidang lukisan kartun sejak akhir tahun 1960-an lagi. Pada ketika itu, karya beliau tersiar dalam Majalah Filem (Singapura).\nRossem atau lebih mesra disapa dengan panggilan Pak Rossem mengembangkan bakatnya dengan penerbitan komik pertama melalui Toko Buku Asia (1977) dengan judul \u201cKopral Mat Loyer\u201d. Pak Rossem pernah bersama-sama keluarga majalah Gila-gila untuk menyumbang karyanya pada awal penerbitan majalah tersebut.\nKarya Pak Rossem juga banyak tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia pada tahun 1978 hingga 1993 dengan kartun strip watak polis \u201cKonstabel Jabit\u201d. Dalam Utusan Melayu (Jawi) juga diterbitkan kartun beliau dengan judul \u201cPak Din Pencen\u201d. Watak \u201cSi Akob\u201d pula dipopularkan oleh Pak Rossem melalui akhbar Utusan Pelajar. Menurut Dr. Hamedi Mohd. Adnan (2014), akhbar Utusan Pelajar diterbitkan pada tahun 1970 hingga 1992.\nSekiranya ditinjau hasil karya Pak Rossem, kartunnya banyak memaparkan isu yang berlegar dalam masyarakat. Beliau berjaya menggarapnya melalui kartun. Kepekaan beliau terhadap isu semasa menjadikan kartun yang dihasilkan oleh Pak Rossem sentiasa malar segar.\nPak Rossem mendedahkan bahawa pelukis sama seperti penulis. Menurut Pak Rossem, seseorang kartunis itu perlu melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan. Tidak mungkin seseorang itu dapat menghasilkan karya sekiranya tidak menguasai isu kemasyarakatan, politik, ekonomi, budaya lokal dan luar negara serta perkembangan semasa.\nKartunis yang peka dengan keadaan sekeliling selalunya mempunyai pengamatan yang sangat tajam, terutamanya editorial dan sosial kartunis. Mereka akan menterjemahkan realiti semasa melalui lakaran kartun yang dihasilkan. Kelazimannya kartun yang dihasilkan oleh seseorang kartunis ini dimasukkan unsur sinis dan satira. Karya yang berkualiti akan membuatkan masyarakat menerimanya dengan tersenyum simpul walaupun sindiran itu terkena pada diri sendiri.\nOleh sebab itu, kartun diterima oleh masyarakat sejak kewujudannya pada tahun 1930-an lagi. Pada era ini merupakan tahun perintis hinggalah tahun 1957. Profesor Dr. Muliyadi Mahamood dalam bukunya, Kartun dan Kartunis di Malaysia menyatakan bahawa kartun berperanan mengetengahkan isu-isu sosiopolitik semasa sejak tahun 1930-an lagi. Walaupun sindiran, jenaka dan satira serta gaya persembahan agak keras, masyarakat tetap menerimanya dalam kehidupan sehari-harian.\nKeterlibatan Pak Rossem pada tahun 1970-an itu merupakan era baharu dunia kartun. Pada era ini (1957 hingga 1970-an), para kartunis dalam menghasilkan karya banyak dipengaruhi oleh sifat, sasaran pembaca, pemilikan dan dasar-dasar akhbar yang ditentukan oleh pihak kerajaan.\nMaka itu, dengan ketajaman sudut pandang seorang kartunis, Pak Rossem yang pernah melibatkan diri dalam pasukan Polis Diraja Malaysia telah mengangkat semua genre kartun dalam hasilan karyanya kecuali animasi. Genre-genre yang menjadi sajian Pak Rossem ialah kartun hiburan (kartun lereng), kartun sosial, kartun politik dan kartun dakwah.\nKini beliau masih aktif menghasilkan karya buat tatapan masyarakat bahkan telah melebarkan karya seninya ke peringkat antarabangsa. Sudah empat tahun beliau menimba pengalaman di peringkat antarabangsa. Beliau bukan sahaja terlibat sebagai peserta, malah sebagai penganjur pertandingan kartun dan juri di peringkat antarabangsa. Menurut Pak Rossem, terdapat tiga elemen yang menggerakkan industri kartun di peringkat antarabangsa, iaitu pelukis kartun, penganjur dan juri.\nPak Rossem telah membangunkan Balai Kartun Rossem (BKR) pada tahun 2014. BKR ini dibangunkan hasil daripada titik peluh beliau sendiri dan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato\u2019 Erdana Mohd Amar Nik Abdullah. Balai ini terletak bersebelahan dengan rumah Pak Rossem di atas tanahnya sendiri di Jalan ke Bachok, Peringat, Kelantan.\nApa-apa yang menarik, BKR bukan sahaja menyimpan hasil karya Pak Rossem tetapi dokumen-dokumen yang berkaitan dengan sejarah kartun dan perindustrian komik tanah air selain turut menempatkan karya penulisan kesusasteraan. Oleh itu, tidak hairanlah Pak Rossem juga merupakan Ketua Dua Persatuan Penulis Kelantan (PPK) yang disertainya." "Bukit St. Paul Bakal Diwartakan sebagai Bukit Melaka\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBandar Hilir \u2013 Kerajaan Negeri Melaka pada 2 Mac 2022 secara rasminya telah menukarkan nama Bukit St. Paul kepada Bukit Melaka.\nNama Bukit St. Paul bakal diwartakan sepertimana nama asalnya, Bukit Melaka. Cadangan ini telah dibuat bagi mengembalikan nilai sejarah tinggi bukit berkenaan yang dimiliki oleh Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka. Tapak bukit ini juga pernah menjadi tapak istana dan Masjid Agung Zaman Kesultanan Melayu Melaka.\nBagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pelancong, pihak Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) juga sudah memulakan langkah memasang papan tanda pengenalan atau papan arah yang menunjukkan pertukaran nama bukit tersebut sebagai Bukit Melaka.\nPengurus Besar PERZIM, Mohd. Nasruddin Rahman berkata, \u201cNama asal bukit ini ialah Bukit Melaka dan nama tersebut merupakan nama yang digunakan sewaktu Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka. Semasa berlakunya penjajahan, pihak penjajah telah menukar nama bukit tersebut kepada Bukit St. Paul memandangkan bukit tersebut terletak berdekatan dengan Gereja St. Paul.\u201d\nMengulas lebih lanjut tentangan kumpulan yang beranggapan bahawa pewartaan tersebut bakal menjejaskan lokasi atau kedudukan Gereja St. Paul, Mohd. Nasruddin menjelaskan bahawa pertukaran nama bukit tersebut tidak akan menjejaskan nama gereja yang terletak di situ dan tiada apa-apa isu berbangkit berkenaan dengan hal tersebut.\nTerdahulu, PERZIM telah mengemukakan cadangan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKNN) agar nama Bukit St. Paul ditukar kepada nama lamanya, iaitu Bukit Melaka. Nama bukit berkenaan telah ditukar oleh pihak Portugis semasa penjajahan mereka ke atas Kerajaan Melayu Melaka suatu ketika dahulu." "Hasil Karya Artis Tempatan Mewarnai Pameran ArtEDecor 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pameran ArtEDecor kali ketiga berlangsung dari 3 Mac 2022 hingga 6 Mac 2022. Bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pameran tersebut diadakan selama empat hari dari pukul 11.00 pagi hingga 8.00 malam pada hari Khamis hingga Sabtu, manakala pada hari terakhir, iaitu pada hari Ahad, pameran bermula dari pukul 11.00 pagi hingga 6.00 petang.\nPameran ini mendapat kerjasama dan sokongan daripada Balai Seni Negara dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Terdapat lebih kurang 80 artis tempatan mengambil bahagian dengan ratusan karya seni yang dipamerkan sepanjang program ini berlangsung. Selain pameran karya seni para artis tersebut, terdapat juga beberapa buah program lain seperti seminar seni, lukisan dan persembahan muzik secara langsung\u00a0 dan lain-lain sepanjang tempoh pameran ini berlangsung.\nMenurut\u00a0 Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri, Pameran ArtEDecor 2022 merupakan platform bagi karyawan dan pembeli untuk bertemu dan menjual hasil seni mereka secara terus. Beliau juga percaya pameran ini mampu menarik perhatian pembeli antarabangsa bagi mendapatkan hasil karya seni para artis tempatan negara kita.\nBukan itu sahaja, MOTAC juga mengalu-alukan semua pihak yang berkenaan untuk mempromosikan pelancongan melalui seni agar hasil seni para artis tempatan kita mampu sampai ke tahap mempromosikan seni secara global sebagai pasaran eksport.\nMajlis Perasmian Pameran ArtEDecor 2022 telah disempurnakan oleh Menteri MOTAC, Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri pada 3 Mac 2022. Yang turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Pengarah Urusan WTCKL, Dato\u2019 Sri Dr. Irmohizam Ibrahim, Penasihat ArtDecorKL, Duta Besar Dato Mohd Yusof Ahmad dan pereka terkenal tanah air yang juga merangkap Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Dato\u2019 Indera Dayang Fatimah Tom Abang Saufi." "Sukan Permotoran Menyatupadukan Masyarakat Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nArau \u2013 Sempena sambutan Hari Malaysia pada bulan September kelak, Kelab Permotoran DZ Bikers bercadang untuk menganjurkan program \u201cWingers International Gathering (WIG) @ Perlis 2022\u201d di negeri ini pada 16 hingga 18 September 2022 dengan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat yang berminat dalam permotoran berkuasa tinggi.\nDemikian dipersembah maklumkan kepada Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis oleh Pengerusi Eksekutif DZ Bikers, Dato\u2019 Haji Zailan Hj Mohamed dan Presidennya, Dato\u2019 Haji Abdul Manan Moin ketika sembah mengadap taklimat ke atas baginda di Galeri Diraja Arau baru-baru ini.\nHadir sama ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dr. Faizal Kamarudin dan Penolong Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Mohd Rusfaizal Mohd Radzi.\nObjektif utama penganjuran program tersebut adalah sebagai platform penyatupaduan masyarakat, terutamanya peminat sukan permotoran, untuk lebih menghayati aspek keselamatan dan tanggungjawab mereka ketika menunggang motosikal. Dengan berlangsungnya program ini, diharapkan agar dapat memupuk kesedaran sosial yang tinggi dalam kalangan orang ramai serta para penunggang motosikal.\nPenganjuran program ini juga merupakan satu daripada usaha untuk mempromosikan kebudayaan dan kesenian serta keindahan Perlis yang sungguh permai pada peringkat domestik dan antarabangsa. Hal ini secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai pelancong ke Perlis, sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi negeri.\nPihak DZ Bikers turut menyembah maklum hala tuju dan matlamat kelab permotoran itu yang merupakan sebuah kelab motosikal yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan jenama motosikal bertujuan untuk mengambil bahagian dalam program sosial dan riadah yang berfaedah kepada masyarakat.\nPihak penganjur menjangkakan sebanyak 300 pemilik dan pembonceng pelbagai jenis motosikal berkuasa tinggi dari dalam dan luar negara akan mengambil bahagian jika diberikan kelulusan oleh pihak berkuasa, selain keadaan penularan COVID-19 lebih terkawal dan juga pintu sempadan negara dibuka kembali kelak." "Muzium Budaya Borneo: Muzium Bertaraf Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Muzium Negeri Sarawak yang baharu dikenali sebagai Muzium Budaya Borneo telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 4 Mac 2022.\nBangunan muzium lima tingkat yang terletak di Jalan Tun Abang Haji Openg, Kuching, Sarawak ini mempunyai reka bentuk seni bina tersendiri yang mempamerkan pelbagai artifak dan barangan yang berkaitan dengan adat dan budaya suku kaum yang terdapat di Sarawak. Secara tidak langsung, Muzium Budaya Borneo ini membuktikan keunikan kraf tradisional dan kekayaan warisan budaya yang dimiliki oleh masyarakat di Sarawak. Acara kemuncak perasmian ialah penandatanganan plak yang terdapat di pintu masuk utama muzium oleh Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Kemudian, semua tetamu kehormat dibawa masuk ke muzium dan melihat pameran yang terdapat di situ.\nMuzium yang menjadi mercu tanda baharu di Sarawak dan diakui sebagai muzium bertaraf dunia dan yang kedua terbesar di Asia Tenggara ini akan dibuka kepada pengunjung bermula pada 9 Mac 2022. Ekoran negara masih berdepan dengan penularan COVID-19, pihak muzium menetapkan hanya 500 orang pelawat akan dibenarkan memasuki bangunan muzium pada satu-satu masa. Yang menariknya, untuk tempoh tiga bulan pertama, pelawat tidak akan dikenakan sebarang bayaran.\nPrimer Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebagai sebuah repositori bertaraf dunia, Muzium Budaya Borneo juga mampu menarik minat ahli akademik dan penyelidik dari institusi tempatan mahupun antarabangsa. Tambah beliau, objektif muzium itu yang memacu penyelidikan akan menggalakkan masyarakat menghargai kepentingan penyelidikan, dan secara tidak langsung masyarakat akan diserap dengan budaya penyelidikan. Seperti yang dapat dilihat di negara maju, masyarakat yang telah berakar umbi dengan budaya penyelidikan dan minda yang dipacu oleh data akan memiliki kemahiran untuk menganalisis dengan lebih baik, seterusnya menambah baik setiap aspek kehidupan. Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Muzium Budaya Borneo.\nDalam kenyataan medianya, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, apabila dibuka kepada orang awam, pengunjung akan dibawa melihat artifak yang dipamerkan supaya pengunjung dapat mengetahui dengan lebih dalam berkenaan sejarah dan dari mana tempat asal artifak tersebut. Selain itu, yang membezakan muzium ini dengan muzium yang lama adalah di galeri tertentu terdapat lampu-lampu yang akan menyala mengikut jejak kaki pengunjung yang datang ke galeri berkenaan.\nMenurut Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah lagi, pembinaan Muzium Budaya Borneo bermula pada tahun 2014. Kompleks muzium bertaraf dunia bernilai RM323 juta itu mempunyai keluasan 6726 meter persegi. Antara tarikan yang bakal menemui pengunjung termasuklah Floor of Desire, Painted Caves, Sarawak in Motion dan banyak lagi. Pameran yang diadakan di Muzium Budaya Borneo memang sangat berbeza daripada muzium lain kerana keunikan binaannya serta teknologi yang digunakan untuk memberikan suatu pengalaman yang berharga kepada pengunjung. Di muzium itu juga terdapat bahagian yang memberikan pengalaman menarik seperti pengalaman berada di dalam gua yang menjadi salah satu aspek terpenting dalam landskap negeri Sarawak. Muzium ikonik serba baharu itu mempamerkan lebih seribu artifak mewakili budaya dan sejarah Sarawak.\nMelalui laman Facebooknya, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia, Yang Berhormat (YB) Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Haji Syukri menyatakan Muzium Budaya Borneo yang menjadi ikon kebanggaan Keluarga Malaysia di Sarawak ini diyakini mampu mengangkat nama Malaysia di mata dunia, seterusnya menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara. Majlis perasmiannya yang berlangsung dalam suasana gilang-gemilang telah disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook TVS dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS). Rakaman siaran majlis perasmian tersebut boleh ditonton melalui pautan YouTube ini." "Pengiktirafan UNESCO untuk Songket Malaysia Perlu Dipertahankan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kain songket, lambang kehalusan seni kemahiran tangan warisan yang menjadi kemegahan bangsa telah lama bertapak dalam budaya tradisi kita. Namanya berasal daripada perkataan \u201csungkit\u201d, iaitu teknik menyungkit benang loseng dengan benang pakan yang terdiri daripada benang emas, perak atau benang warna mengikut corak yang diperlukan.\nMenariknya, kain songket telah diiktiraf dan disenaraikan di bawah Senarai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan, Pertubuhan Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 15 Disember 2021 yang lalu.\nWalau bagaimanapun, pengiktirafan tersebut tiada ertinya jika kain songket tidak dipedulikan di negara sendiri dan pudar, kemudian hilang ditelan zaman. Justeru, semua pihak perlu bertanggungjawab dan berperanan mengangkat songket Malaysia ke tempat yang sewajarnya. Sebagai satu usaha ke arah pemartabatan songket, Ahli Majlis Kraf Dunia, Raja Datin Paduka Fuziah Raja Tun Uda, berharap cadangannya dapat dijadikan kenyataan pada sepanjang tahun 2022 hingga 2024.\n\u201cSebagai pihak yang paling relevan, Kraftangan Malaysia boleh bekerjasama bersama-sama muzium negeri dengan mengundang usahawan dan pendidik untuk membincangkan mengenai songket dari semua aspek,\u201d ujar beliau.\nRaja Datin Paduka Fuziah menyatakan sedemikian semasa menjadi seorang daripada ahli panel Wacana Kraf 2022 bertemakan \u201cApresiasi Kraf\u201d, berjudul \u201cKeaslian dan Kelestarian Songket Malaysia\u201d pada 3 Mac 2022 yang lalu di Dewan Seri Utama 1, Kompleks Kraf Kuala Lumpur.\nSelaras dengan perkembangan teknologi, kaedah dalam talian boleh dimanfaatkan sebaik-baiknya kerana menjimatkan masa dan tidak perlu kos sewa ruang acara. Sehubungan dengan itu, tambah Raja Fuziah, Muzium Tekstil Negara (MTN) juga boleh menganjurkan wacana, forum atau sebarang perbincangan mengenai songket secara dalam talian.\nRaja Fuziah mengharapkan sedemikian kerana menganggap pengiktirafan UNESCO terhadap kain songket merupakan satu penghormatan besar. Ertinya, tambah beliau, songket mendapat pengiktirafan antarabangsa.\n\u201cNamun begitu, apakah yang perlu dibuat selepas mencapai kejayaan tersebut? Kita semua perlu memikirkan bagaimana prestij songket sehingga diangkat oleh UNESCO sebagai warisan kebangsaan. Kebolehan untuk menenun songket ialah anugerah Allah SWT yang tidak wajar disia-siakan,\u201d tegas Raja Fuziah.\nWacana Kraf 2022 itu diadakan bersempena dengan Hari Kraf Kebangsaan 2022, anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, serta Kraftangan Malaysia, dengan kerjasama Institut Kraf Negara, dan Jabatan Muzium Malaysia (JMM), disokong oleh MyCraft Shoppe, Bazar E-Kraf, Craft Onthego, Google Arts and Culture, dan Karyaneka.\nSelain Raja Fuziah, yang turut menjadi ahli panel ialah pengkaji seni kraf tekstil, Profesor Madya Dr. Norwawi Md Nawawi; Adiguru Kraf Songket 2019 dan Pengarah Urusan Manang Songket, Wan Manang Wan Awang; dan Pengarah MTN, JMM, Rosidah Abdullah; sementara Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak, Azran Arip bertindak sebagai pemudah cara.\nWacana tersebut dibahagikan kepada dua sesi, iaitu \u201cSesi 1: Keanggunan Ekspresi Kesenian Songket Malaysia\u201d yang menampilkan Profesor Madya Dr. Norwawi, Wan Manang, Raja Fuziah, dan Azran.\nSementara \u201cSesi 2: Pemeliharaan dan Pemuliharaan Songket Malaysia (Bengkel Konservasi)\u201d dikendalikan oleh Rosidah. Selain teori yang disampaikan olehnya dalam bentuk pembentangan, Rosidah turut melakukan demonstrasi pemeliharaan dan pemuliharaan warisan kebangsaan itu untuk hadirin.\n\u201cPemuliharaan ialah perlindungan, pemuliharaan atau pengurusan yang melibatkan alam sekitar, dan sumber asli seperti tumbuh-tunbuhan, ulat sutera dan pewarna alam sebelum terhasilnya songket,\u201d jelas Rosidah.\nKaedah penjagaan itu, tambah beliau, merangkumi secara tradisional, terkini, dan pemuliharaan menerusi rawatan. Antara kaedah tradisional ialah perasapan, basuhan/bilasan, mengerus, bungkusan/balutan, dan alas/pelapik/penyimpanan.\n\u201cCara terkini pula ialah sokongan (simpanan), dan sokongan (peragaan). Sokongan (peragaan) dengan cara amalan memakai sarung tangan sebelum memegang koleksi, dan alat bantuan sokongan untuk melindungi koleksi,\u201d ujar Rosidah. Sementara itu, pemuliharaan melalui rawatan, menurut beliau, menggunakan teknik jahitan, iaitu jelujur, silang pangkah, dan tampalan.\nDalam ceramahnya, Profesor Madya Dr. Norwawi antara lain menjelaskan maksud, jenis-jenis, serta corak dan motif songket. Mengenai usaha memartabatkan songket, beliau memberikan cadangan agar galakan perlu dimulakan dari rumah, iaitu ibu dan bapa sendiri menunjukkan teladan kepada anak mereka.\n\u201cWalau bagaimanapun, saya fikir dari rumah itu sebagai pendidikan tidak formal yang kadang-kadang terabai, dan kurang berdisiplin. Saya berpendapat pendidikan di sekolah lebih perlu dan boleh berkesan kerana ada disiplin, dan tersusun,\u201d jelas Dr. Norwawi.\nWan Manang, 68 tahun, yang juga seorang usahawan, menyentuh soal teknikal pembuatan, dan kerenah pelanggan/pembeli songket. Katanya, hal ini sukar dijangka kerana ada pelanggan yang membeli produk yang telah disisihkan oleh usahawan. \u201cUsahawan songket harus sentiasa bersedia, dan mampu mengikut kehendak pelanggan,\u201d ujar beliau yang mula menceburi industri tenunan songket sejak tahun 1976.\nMengenai kelestarian songket, Wan Manang mengakui persaingan tidak dapat dielakkan. Oleh hal yang demikian, katanya, kesedaran untuk berusaha meningkatkan dan menghargai karya seni tangan ini amat penting." "Pelukis Yusof Gajah Meninggal Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPelukis citra naif (naive art) dan penulis buku kanak-kanak terkenal, Mohd. Yusof Ismail atau lebih dikenali dengan Yusof Gajah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 68 tahun di kediamannya di Kajang, hari ini. Khabar duka tersebut dimaklumkan oleh ahli keluarganya dan dihebahkan melalui laman Facebook Persatuan Seni Rupa Malaysia (PeRUPA).\nDilahirkan pada 10 Februari 1954 di Johol, Negeri Sembilan, Pak Yusof menggunakan ikon gajah sebagai elemen utama dalam karyanya sama ada lukisan di kanvas mahupun menerusi ilustrasi buku kanak-kanak dan dari situlah beliau mendapat gelaran sebagai Yusof Gajah.\nMinat beliau pada seni lukis bermula sejak berusia enam tahun. Beliau mendapat pendidikan seni lukis pada peringkat awal di Singapura pada sekitar tahun 1965 hingga 1969. Pada tahun 1972, beliau mendaftarkan diri di Sekolah Seni Rupa Indonesia di Jogjakarta sehingga tahun 1974. Beliau seterusnya menyambung pengajian di Akademi Seni Rupa Indonesia atau ASRI yang terkenal di Indonesia pada tahun 1975.\nYusof Gajah aktif mengajar seni lukis khususnya kepada kanak-kanak pada sekitar tahun 1976 sehingga menubuhkan kumpulan Boneka Pustaka Bimbingan. \u200b\u200bSebagai pelukis profesional, Yusof Gajah telah berjaya mengadakan 12 pameran solo di dalam dan luar negara antaranya dua pameran solo yang telah dilaksanakan di Tokyo dan pameran solo yang lain telah diadakan di Jakarta, Phuket, Sweden, dan Jogjakarta, Indonesia. Enam pameran solo beliau di dalam negara pula telah diadakan di Kuala Lumpur. Dari masa ke masa, beliau turut mengadakan pameran berkumpulan bersama-sama barisan pelukis Malaysia serta pelukis di peringkat antarabangsa. Yusof Gajah turut terlibat dengan pameran lukisan dalam dan luar negara seperti Folk Art Festival di Sabah, Pameran Ilustrasi Buku Kanak-Kanak di Galeri Petronas, Peace Story Nambook di Korea dan banyak lagi.\nPada tahun 1980, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menubuhkan kumpulan Si Nuri. Yusof Gajah terlibat secara aktif dalam kumpulan ini apabila beliau turut berlakon dalam teater kanak-kanak, iaitu \u201cSri Ayu\u201d dan ikuti dengan \u201cTiga Ekor Gajah\u201d .\nPada tahun 1982 pula, beliau bekerja di Pusat Perkembangan Kanak-kanak, Yayasan Sabah. Ketika berada di sana, beliau turut terlibat dalam mengendalikan sesi bercerita dan melatih guru-guru tadika dalam membuat patung dan boneka. Selain itu, pada tahun 1986, beliau juga menjadi editor majalah kanak-kanak Timang Sayang terbitan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).\nYusof Gajah juga terlibat sebagai hos, penulis skrip dalam rancangan Kerengge terbitan RTM. Ketika membuka galeri di Kompleks Kraf di Jalan Conlay, Kuala Lumpur, beliau banyak terlibat dalam aktiviti mencari dana untuk hospital khususnya bagi wad kanak-kanak. Sepanjang hayatnya, beliau pernah menerima pelbagai anugerah seperti Best Children\u2019s Picture Book, National Book Council di Kuala Lumpur, Children\u2019s Picture Book Illustration di Jepun, Pratita Adi Karya di Indonesia dan banyak lagi.\nYusof Gajah dalam blognya menulis, \u201cAku mempunyai fantasi dan imaginasi di mana aku melihat banyak perkara. Oleh itu, di kala aku kebosanan, aku mampu menghasilkan pelbagai seni lukis. Gajah yang aku lukis bukanlah sekadar seekor gajah, namun ia berkait rapat dengan manusia.\u201d\nTakziah kepada keluarga Pak Yusof Gajah. Pemergian beliau menyebabkan Malaysia kehilangan satu lagi anak seni yang berbakat besar. Semoga roh Almarhum ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan dirahmati selalu." "Memperkaya Khazanah Ilmu bagi Menjayakan DAKEN 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKeputusan kerajaan memperkenalkan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 mencitrakan bahawa keperluan untuk menyegarkan lagi perbahasan mengenai hakikat kebudayaan di negara ini perlu diteruskan. \nDAKEN merupakan kesinambungan daripada Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang merupakan satu usaha ke arah memupuk perpaduan memandangkan jamaknya agama, budaya dan etnik di negara ini bukanlah penghalang muktamad untuk hidup bersatu, namun hal ini menuntut usaha proaktif semua pihak.\n\nPenulisan makalah ini adalah usaha untuk memberikan respons proaktif pada peringkat awal sebagai cadangan dalam menjayakan dasar ini dengan tumpuan kepada aspek budaya ilmu orang Melayu yang menjadi asas kebudayaan negara kita.\nPenulis tertarik dengan kandungan dokumen rasmi Dasar Kebudayaan Negara 2021 yang diterbitkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Misi dasar ini jelas digubal sebagai,\u201c. mekanisme untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang mengamalkan budaya nilai tinggi dan mengukuhkan keharmonian dalam kalangan rakyat yang meletakkan pencapaian tinggi berteraskan tatasusila, tatacara dan tahap keintelektualan.\u201d\nBudaya nilai tinggi yang dimaksudkan di sini sudah tentu berhubung rapat dengan perbahasan mengenai ketinggian akhlak seseorang individu. Hal ini penting kerana kemajuan sesebuah negara tidak akan bermakna jika kemajuan seseorang individu itu hanya dibataskan pada pencapaian hasil ekonomi dan tinggi daya kemahiran namun mempunyai akhlak yang rendah. Oleh itu, satu daripada usaha penting dalam menyemai amalan budaya nilai tinggi ialah kaedah pendidikan lebih-lebih lagi melalui ilmu sejarah.\nIlmu histriografi merupakan satu daripada ilmu yang berpotensi besar untuk menjayakan DAKEN 2021. Antara sifat penting ilmu ini ialah menganalisis catatan pengalaman sejarah yang benar terhadap jatuh bangun sesebuah peradaban.\nKita bertuah kerana mempunyai khazanah persuratan sejarah Melayu yang banyak lagi boleh dimanfaatkan. Profesor Dr. Tatiana Desinova dalam analisis beliau terhadap lapan buah teks sejarah Melayu termasuklah Hikayat Raja Pasai, Tuhfat al-Nafis, Hikayat Pahang dan Peringatan Sejarah Negeri Johor mempunyai dapatan yang penting tentang pengalaman sejarah insan luhur bagi alam Melayu.\nMakalah penting beliau yang bertajuk \u201cPatriostime dalam Historiografi Melayu (kurun ke-13 hingga kurun ke-19)\u201d menyatakan dalam Hikayat Raja Pasai mencatatkan bahawa antara syarat utama untuk pencalonan seseorang raja ialah mempunyai sifat keterbukaan toleransi terhadap tamadun dan bangsa lain. Syarat ini penting kerana agama Islam menganjurkan sikap meraikan kepelbagaian budaya tepat pada tempatnya lebih-lebih lagi dalam menjalinkan hubungan politik dan ekonomi yang kukuh dan dinamik.\nDalam teks sejarah Melayu yang lain turut memuatkan ketokohan pemerintah seperti Sultan Alaudin Riayat Shah sebagai seorang pemimpin yang adil termasuklah cermat dalam menjatuhkan sebarang hukuman dan teliti dalam melihat perkembangan semasa kebajikan masyarakat. Maka itu, dapatan kajian ilmu historiografi ini secara tidak langsung meluaskan lagi sudut pandang kita terhadap individu agung sejarah Melayu dan tidak hanya sempit bersandarkan kepada lima pahlawan bersaudara semata-mata.\nTambahan pula, pembacaan terhadap buku berhubung dengan falsafah kebudayaan Melayu perlu dipergiatkan. Antara buku yang penting ialah Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Bunga Rampai: Bangsa, Kebangsaan dan Patriotisme, The Origin of the Malay Sha\u2019ir dan Historical Fact and Fiction. Buku-buku ini merupakan rujukan penting dalam meletakkan batu asas yang kukuh terhadap fahaman dan pegangan individu Muslim mengenai hakikat sumbangan Islam di negara kita.\nTamsilnya, dalam \u201cIslam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu\u201d karangan Tan Sri Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas membentangkan perbahasan mengenai berlakunya zaman baharu di alam Melayu apabila berlakunya proses Islamisasi. Perubahan tersebut dapat dilihat bukan hanya semata-mata kepada pencapaian fizikal seperti masjid dan institusi pendidikan malah lebih utama daripada itu, penghasilan karya karya aras tinggi oleh para ulama Melayu dalam pelbagai disiplin ilmu termasuklah metafizik, tasawuf, fikah dan ketatanegaraan yang kemudiannya membentuk pandangan alam Melayu yang baru. Malah, bahasa Melayu itu berubah sebagai bahasa ilmu yang secara tidak langsung mewujudkan kesatuan perpaduan serantau seperti kesatuan Melayu, Bugis, Jawa dan Banjar.\nDi samping itu, dalam mengkukuhkan lagi usaha yang dinyatakan di atas, maka kegiatan penerbitan buku ilmah berkualiti wajar terus diberikan sokongan. Penerbitan yang dimaksudkan bukan sekadar penerbitan baharu, malah usaha penerbitan semula buku langka dan berfaedah.\nUsaha seperti Akademi Jawi Malaysia menerbitkan sebuah kajian baharu berjudul, \u201cSultan Alauddin Suleiman Shah: Payung Kesentosaan Negeri Selangor\u201d karangan Mohd Adha Abdul Jalil ini wajar dipuji. Kajian ini penting kerana menjadi nilai tambah terhadap maklumat akan ketokohan Almarhum baginda yang juga merupakan seorang ilmuwan dan individu penting meletakkan batu asas kemajuan negeri Selangor. Buku ini bukan sahaja menghuraikan iklim budaya ilmu yang membentuk keperibadian mulia baginda malah melampirkan beberapa gambar dan dokumen langka penting kepada pembaca.\nSementara itu, mengenai penerbitan semula buku buku langka, penulis memilih untuk mengusulkan buku berjudul \u201cA Dictionary of the Economic Products of the Malay Peninsula\u201d karangan Henry Isaac Burkill. Buku setebal dua jilid ini merupakan kajian penting oleh Burkill mengenai nama saintifik tumbuh-tumbuhan di alam Melayu yang diterbitkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan pada tahun 1935.\nPenerbitan semula buku ini penting bukan sahaja sudah berstatus langka dan sukar didapati malah memastikan kandungannya terus terpelihara dan memberikan inspirasi kepada para pengkaji ilmu pertanian masa kini untuk membuat kajian lanjutan terhadap dapatan buku tersebut.\nHarus diingat bahawa cendekiawan negara, Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz turut mencadangkan buku ini untuk dibaca kerana keluasan dapatan kajian Burkill yang boleh dimanfaatkan oleh generasi masa kini.\nDalam usaha mempromosikan budaya kita di peringkat antarabangsa, penulis kurang bersetuju dengan sohor kini atau trend tidak sihat sebahagian ahli akademik negara mutakhir ini yang berlumba-lumba untuk menerbitkan hasil kajian melalui penerbit luar negara yang menelan kos yang lebih tinggi. Tambahan pula, buku yang diterbitkan di luar negara menyebabkan harga buku tersebut menjadi mahal dan menyukarkan masyarakat tempatan untuk mengakses kandungan dapatan buku tersebut.\nSedangkan berdasarkan rekod, terdapat kejayaan penerbitan tempatan yang lain pernah mendapat perhatian dan rujukan ahli sarjana antarabangsa. Misalnya, sebuah buku yang membahaskan tentang metafizik ilmuwan Melayu agung berjudul, \u201cThe Mysticism of Hamzah Fansuri\u201d karangan Tan Sri Profesor al-Attas yang diterbitkan di Kuala Lumpur oleh Universiti Malaya. Karya ini mendapat perhatian dan rujukan ahli orientalis terkenal seperti Annemerie Schimmel sebagaimana dimuatkan dalam bukunya, \u201cMystical Dimension of Islam\u201d. Pencapaian ini secara tidak langsung telah mengangkat nama kota Kuala Lumpur sebagai sebuah kota yang berpotensi besar menerbitkan karya karya ilmu aras tinggi sebaris dengan kota lain seperti Oxford, Cambridge, Princeton dan Leiden.\nKesimpulannya, pelancaran DAKEN 2021 ini memang sesuai pada waktunya. Dasar ini mampu dijayakan kerana menjadi penguat kepada dasar-dasar penting kerajaan lain termasuklah Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2021 \u2212 2030 dan gagasan terbaharu, \u201cKeluarga Malaysia\u201d.\nDalam aspek mengangkat dan mempromosikan kebudayaan Melayu, adalah penting untuk kita manfaatkan khazanah persuratan ilmu yang begitu banyak dan tidak ternilai yang menampilkan individu agung dan berakhlak tinggi. Hal ini dikatakan demikian kerana pencapaian keunggulan peradaban Melayu pada zaman dahulu boleh dicapai sekiranya kita meneladi akhlak baik individu yang telahpun ditonjolkan oleh mereka.\nPemilihan bahan sejarah dan cara yang betul dan ikhlas akan memastikan usaha untuk mencapai tujuan DAKEN 2021 ini berjaya khususnya dalam pembinaan budaya nilai tinggi dalam kalangan masyarakat.\nSemoga hasrat baik dasar ini dapat dicapai memandangkan usaha untuk memupuk perpaduan di negara kita merupakan satu proses yang perlu sentiasa disegar dan diperkukuh." "Jangan Malu untuk Bertutur dalam Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2212 Bahasa Melayu dapat menyatukan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Oleh itu, setiap rakyat perlu menghormati, menguasai dan memartabatkan bahasa Melayu tidak kira di mana-mana sahaja. Hal ini dibuktikan oleh Logesh Kumaar yang kini menetap di Amerika Syarikat, yang masih menggunakan bahasa Melayu, selain bahasa Inggeris ketika berkomunikasi sesama ahli keluarganya. Beliau berbangga kerana dirinya anak jati Malaysia.\nMenurutnya lagi, bahasa Melayu ialah sebahagian daripada identitinya sebagai seorang anak Malaysia. Beliau juga tidak malu untuk bertutur dalam bahasa Melayu, malah berasa amat bangga kerana dapat membawa bersama-sama bahasa, budaya dan adat Malaysia ke negara luar. Selain bertutur dalam bahasa Melayu, beliau turut mempraktikkan budaya dan adat Malaysia di bumi Amerika. Contohnya, adat membawa buah tangan kepada seseorang apabila menziarahi seseorang, memberi makanan terbaik kepada jiran dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang yang memerlukan pertolongan.\nAmalan hidup secara bermasyarakat dan bergotong-royong turut diamalkannya kerana dapat membina sifat kemesraan dalam kalangan ahli masyarakat berbanding dengan gaya hidup orang Amerika yang lebih suka hidup secara individu. Di samping itu, beliau dan keluarga juga mengamalkan prinsip hidup dengan konsep rumah terbuka, iaitu tidak perlu terlalu formal sebagaimana adat yang ada di Malaysia.\nLogesh juga mengajar isterinya, Rachel bertutur dalam bahasa Melayu kerana beliau mahukan ahli keluarganya mengetahui tentang bahasa ibunda negara asalnya. Selain mengajar mereka untuk menguasai bahasa Melayu, Logesh turut menerangkan tentang budaya Malaysia.\n\u201cSaya rindu untuk berborak dalam bahasa Melayu. Negara kita juga sangat unik pada pandangan mata masyarakat negara luar. Saya akan cuba mempromosikan budaya, bahasa, dan adat Malaysia di luar negara dalam usaha untuk menyebarluaskan lagi penggunaan bahasa Melayu di bumi Amerika. Yang penting, jangan malu untuk mengakui diri sebagai anak jati Malaysia.\u201d\nDemikianlah penjelasan oleh Logesh dalam \u201cRancangan Luar Jendela: Logesh Kumaar \u2212 Duta Kecil Bahasa Melayu di Bumi Amerika\u201d menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP yang bersiaran secara langsung dari California, Amerika Syarikat pada pukul 10.00 malam tadi." "Penggusti Profesional Negara di Layar Lebar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Setakat ini, beberapa sukan seperti sukan golf, bola sepak, dan badminton negara yang pernah diangkat menjadi filem tempatan, masing-masing menerusi Cinta 200 Ela (2002), Gila Bola (2003), Ola Bola (2016) dan Lee Chong Wei (2018).\nSelepas Syahadan yang ditayangkan bermula pada 17 Februari 2022 lalu, Gila Gusti menjadi filem Melayu tempatan kedua ke pawagam pada tahun 2022 ini. Filem bercorak aksi komedi ini akan menemui penonton di pawagam di seluruh negara bermula pada 17 Mac 2022.\nBerdasarkan judul yang disebutkan tadi, memang belum banyak filem tempatan yang mengambil sukan dan/atau tokoh sukar tanah air dijadikan bahan cerita. Justeru, penerbitan Gila Gusti ini wajar dialu-alukan kerana menampilkan penggusti Malaysia yang telah terkenal di arena antarabangsa.\nPara peminat sukan gusti di negara kita pasti tidak asing lagi dengan nama Persekutuan Gusti Sedunia (WWF) dan Hiburan Gusti Sedunia (WWE), serta para penggusti terkenal seperti The Undertaker, Dwayne \u201cThe Rock\u201d Johnson, Ric Flair, \u201cRowdy\u201d Roddy Piper, \u201cMacho Man\u201d Randy Savage, Andre the Giant, Stone Cold Steve Austin, Triple H, Big Show, Hulk Hogan dan John Cena.\nSebenarnya, negara kita ada ahli gusti gadis genit berhijab yang memakai nama gelanggang, Nor Phoenix Diana dan Ayez Shaukat Fonseka yang juga dikenali sebagai Undertaker Malaysia.\nPenerbitan Gila Gusti bertujuan untuk membawa penggusti Malaysia yang telah mencipta nama di luar negara untuk diperkenalkan di Malaysia pula kerana ramai yang belum tahu negara kita memiliki ahli gusti setanding dengan ahli gusti luar negara.\nDiklasifikasikan di bawah kategori P13, Gila Gusti merupakan produksi APAC Wrestling yang diasaskan oleh Ayez Shaukat dan Lomo Pictures Sdn. Bhd. bersama-sama Quin Media dan Quick Sent.\nSelain Ayez Shaukat sendiri yang memegang watak (utama) Naga, beberapa pelakon terkenal yang turut membintangi filem ini ialah Syafie Naswip sebagai Mamat, Pekin Ibrahim (Jiggy), Dato\u2019 Jalaluddin Hassan (Tiger Rajah) dan Elizabeth Tan (Julia, pengacara perlawanan gusti).\nSelebriti media sosial terkenal (influencer), Aisar Khaled juga muncul dalam filem ini dengan memegang watak Zul bersama-sama Syafie. Nia Atasha pula sebagai Soloz (pelayan kedai makan).\nAntara ahli gusti profesional yang turut beraksi dalam Gila Gusti termasuklah Serigala, J.Y.E., Poppy, Double K, Orion Black, Daryl Wong, Luna dan Referee Zan.\nMenjelang tayangan umumnya nanti, sebuah majlis tayangan khas dan sidang media Gila Gusti telah diadakan pada 8 Mac 2022 yang lalu di sebuah pawagam terkemuka di Bandar Utama dekat sini. Turut hadir ialah pengarahnya, Silver Chung bersama-sama Ayez, Syafie, Aisar, Nor Phoenix dan Ayez sendiri.\nMenurut Ayez, pihaknya amat terharu apabila ada pihak yang sudi membawa sukan gusti ke layar perak dan menjadikan ahli gusti sebenar sebagai watak utama. Beliau sangat berterima kasih kepada Lomo Pictures, Quin Media dan Quick Sent yang sudi bekerjasama membawa gusti untuk difilemkan.\n\u201cBiasanya masyarakat menganggap gusti sesuatu yang ganas, tetapi Gila Gusti ini membuktikan tanggapan itu salah. Gila Gusti merupakan filem mengenai semangat, persahabatan dan perjuangan,\u201d jelas Ayez.\nSementara itu, Syafie memberitahu walaupun belum pernah membintangi filem aksi komedi, tetapi beliau gembira kerana berjaya melaksanakannya, dan memperoleh pengalaman baharu.\nMengenai pemilihan Aisar memegang watak utama, Ayez menjelaskan pemilihan tersebut tidak bertujuan \u201cmengatasi\u201d populariti dan perawakan Syafie. Aisar ditawarkan berlakon kerana populariti dan ketinggian fizikalnya yang boleh menjanjikan sesuatu.\nMenurut Nor Phoenix, Gila Gusti merupakan kemunculan pertamanya dalam filem, dan berharap masyarakat dapat menerima lakonannya sekali gus filem ini nanti. Walaupun pada awalnya agak kekok apabila ditawarkan untuk berlakon dalam filem ini, ujar Nor Phoenix yang pernah tersenarai dalam Forbes Magazine 30, tetapi dengan tunjuk ajar dan sokongan, beliau dapat melakukan yang terbaik.\nDengan membawa unsur persahabatan dan bukan aksi yang berat, Gila Gusti sesuai ditonton oleh pelbagai peringkat umur. Tumpuan pembikinnya adalah untuk menonjolkan kebaikan kepada masyarakat.\nGila Gusti mengisahkan dua sahabat, iaitu Mamat dan Zul yang taksub dengan gusti profesional, serta menjadi pengikut fanatik penggusti profesional terkenal ketika itu, Naga. Pada suatu hari, semasa menonton Naga dalam perlawanan gusti secara langsung, ahli gusti pujaan mereka itu ditewaskan oleh Big Bear (Gotham). Akibatnya, pihak pengurusan yang diketuai Jiggy menganggap Naga tidak berguna lagi pada masa hadapan. Jadi, mereka mengambil keputusan untuk melepaskan Naga.\nNaga hilang semangat, lantas membuat keputusan berhenti menyertai mana-mana acara gusti lagi. Tidak berpuas hati dengan keputusan Naga untuk bersara itu, Mamat dan Zul yang turut kecewa, nekad mahu membantu penggusti tersebut kembali bersemangat, dan memenangi kejuaraan Asia Pasifik sekali lagi.\nMamat dan Zul membawa Naga bertemu dengan legenda gusti, Tiger Rajah. Walau bagaimanapun, Tiger Rajah ditimpa kemalangan \u2013 dilanggar oleh kereta semasa berjoging. Dengan semangat dan kesungguhan, Naga berjaya meneruskan latihan, dan menewaskan Big Bear dalam perlawanan ulangan untuk kembali memperoleh kejuaraan.\nSepatutnya Gila Gusti telah ditayangkan pada awal tahun 2021. Walau bagaimanapun, tayangan filem ini terpaksa ditunda kerana perintah kawalan pergerakan ekoran COVID-19 yang masih melanda negara. Kemudian, tarikh baharu diperoleh, iaitu 20 Januari 2022. Namun demikian, akibat bencana banjir yang berlaku pada pertengahan Disember 2021, menerusi perkongsian di Twitter APAC Wrestling, Gila Gusti ditunda sekali lagi kepada 17 Mac 2022." "Ujana Seni DBP Dibuka sebagai Laman \u201cPermainan\u201d Anak Seni\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dalam usaha meraikan kegiatan seni budaya, bahasa, sastera dan persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) secara rasminya membuka Ujana Seni DBP sebagai laman \u201cpermainan\u201d anak-anak seni di seluruh negara.\nRuang terbuka yang bertempat di aras enam, Wisma DBP itu merupakan cetusan ilham Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, sebagai usaha merapatkan hubungan DBP dengan persatuan seni, budaya, bahasa dan sastera seluruh negara.\n\u201cTujuan Ujana Seni DBP ini dibuka adalah sebagai ruang tambahan, selain Stor Teater DBP dan Sanggar Tun Sri Lanang, untuk kegunaan persatuan dan kelab menjalankan program secara santai di sini. Hingga kini, banyak persatuan telah bernaung di Wisma DBP dan bebas untuk menjalankan kegiatan di Ujana Seni ini,\u201d ujar YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang dalam ucapan perasmiannya.\nTambah beliau, masyarakat dapat memanfaatkan Ujana Seni DBP yang akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan sambil menikmati pemandangan kota Kuala Lumpur dan warna-warni lampu pada waktu malam di sekelilingnya.\nDengan penubuhan Ujana Seni DBP ini, beliau berharap agar pelbagai kegiatan kesenian akan dijalankan sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk menarik minat masyarakat kembali mengikuti kegiatan kesenian dan kebudayaan seperti era dahulu.\nMajlis Perasmian Ujana Seni DBP yang berlangsung pada 10 Mac 2022 di aras enam, Wisma DBP telah dirasmikan oleh YBhg. Profesor Datuk Dr. Awang Sariyan. Pada majlis pelancaran tersebut, beliau berkesempatan menyampaikan dua buah puisi dengan gaya beliau yang bersahaja dan tersendiri.\nMajlis Perasmian Ujana Seni DBP turut diserikan dengan persembahan oleh penyair dan pemuisi negara, antaranya YBhg. Dato\u2019 Rahman Shaari, Profesor Madya Dr. Norhayati Ab Rahman, Roslan Madun dan Haslinaz Hanapi;\u00a0wakil Badan Budaya DBP, Rasdi Daud serta nyanyian oleh Siso Kopratasa dan Maslinah Yusof.\nSelain Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, hadir bersama-sama meraikan majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah Dasar DBP, Tuan Haji Md. Johari Hasan; Timbalan Ketua Pengarah Operasi DBP, Tuan Haji Abdul Halim Harun; dan YBhg. Dato\u2019 Goh Hin San sebagai tetamu kehormat.\nAntara lain yang turut hadir ialah Persatuan Pemuisi, Persatuan Penyair, Persatuan Teater Malaysia, Persatuan Kebudayaan Han Malaysia dan Persatuan Bitara Syair Melayu Nusantara.\nPihak yang berhasrat untuk menjalankan kegiatan di Ujana Seni DBP bolehlah menghubungi Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP dan Badan Budaya DBP." "Pembukaan Sempadan Negara: Berita Gembira buat Penggiat Industri Pelancongan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembukaan sempadan negara selaras dengan situasi negara yang akan memasuki fasa peralihan daripada pandemik kepada endemik.\u00a0\nPengumuman yang dibuat oleh kerajaan ini disambut baik oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Pembukaan sempadan negara ini merupakan berita gembira buat penggiat dan pengusaha industri pelancongan yang telah menerima impak buruk sepanjang penutupan sempadan negara setelah dunia dilanda pandemik COVID-19 sejak dua tahun yang lalu.\u00a0\nPengumuman yang dibuat adalah melibatkan perkara-perkara berikut:\nMenteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri berkata, \u201cKeputusan kerajaan membuka sempadan negara ini merupakan langkah bijak bagi memulihkan kembali ekonomi negara, terutama buat pemain industri pelancongan, seni dan budaya di negara ini.\u201c \nPihak MOTAC percaya Malaysia akan kembali bangkit dan menjadi destinasi pilihan yang popular dalam kalangan pelancong luar negara.\u00a0\nMOTAC menasihatkan semua penggiat indsutri pelancongan dan kebudayaan untuk bersiap siaga dalam menyambut kunjungan pelancong luar negara. MOTAC sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama buat semua agensi kerajaan yang terlibat dalam menjayakan pembukaan semula sempadan negara bermula pada 1 April 2022 nanti." "Arkib Negara Malaysia Anjur Pelbagai Program Bersempena 100 Tahun Kelahiran Tun Razak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Arkib Negara Malaysia akan menganjurkan pelbagai program dan aktiviti sempena memperingati 100 tahun kelahiran Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang jatuh pada 11 Mac 2022. Sambutan memperingati 100 tahun kelahiran ini adalah sebagai satu manifestasi bagi mengenang jasa Tun Abdul Razak yang merupakan Bapa Pembangunan Negara kita.\n\nProgram ini bermula dengan Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil anjuran Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama Yayasan Tun Razak dan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada hari Jumaat, bersamaan 11 Mac 2022 pada pukul 12.15 tengah hari sebelum solat Jumaat. Majlis tersebut dipimpin oleh Imam Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Al-Fadhil Dr. Khalid Isa yang turut dihadiri oleh beberapa orang tetamu kenamaan seperti Pengerusi Yayasan Tun Razak, Tun Hanif Omar, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Haji Mahadi Che Ngah dan Dato\u2019 Mohammed Nizam Tun Abdul Razak yang mewakili keluarga Allahyarham Tun Razak.\nMenurut Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Encik Jaafar Sidek Haji Abdul Rahman, Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil yang diadakan merupakan permulaan kepada pelbagai program dan acara sempena Sambutan 100 Tahun Tarikh Kelahiran Tun Abdul Razak yang dianjurkan oleh pihaknya. Sepanjang tahun ini, Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama Yayasan Tun Razak dan beberapa rakan strategik yang lain telah merancang untuk mengadakan beberapa program bagi mengenang dan memperingati jasa dan sumbangan Tun Abdul Razak, Bapa Pembangunan Negara agar dapat dihayati oleh seluruh masyarakat keluarga Malaysia.\n\nSelain majlis tersebut, turut juga diadakan Pameran Maya \u201c100 Tahun Tun Razak dalam Ingatan\u201d yang mempamerkan koleksi gambar Allahyarham Tun Razak. Pameran yang berlangsung secara maya itu merupakan kerjasama strategik antara Arkib Negara Malaysia dengan Perpustakaan Tun Abdul Razak tersebut dan boleh dicapai melalui portal rasmi Arkib Negara Malaysia di pautan ini." "Jabatan Muzium Malaysia Lancarkan Kalendar Acara 2022, Laman Web dan Aplikasi Mudah Alih\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya, Jabatan Muzium Malaysia (JMM) pada hari ini melancarkan Kalendar Acara 2022 JMM, bertempat di Dataran Muzium Negara.\nMenurut Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, YBhg. Datuk Hajah Saraya Arbi, \u201cMeskipun pada tahun ini kita masih mendepani cabaran pandemik COVID-19, namun hal yang demikian tidak mematahkan semangat kita malah setiap jabatan dan agensi di bawah MOTAC dilihat begitu aktif dan kreatif dalam melaksanakan pelbagai program dan aktiviti bersesuaian dengan keadaan semasa, mengikut SOP yang ditetapkan.\u201c\nTambah beliau, \u201cJMM berjaya melaksanakan sebanyak 69 daripada 133 program pada tahun lalu. Walaupun rekod ini tidak mencapai sasaran JMM, namun saya melihatnya sebagai komitmen seluruh warga JMM dalam meningkatkan visibiliti institusi permuziuman sebagai hab kebudayaan yang mengadunkan warisan dan teknologi di negara ini, seterusnya menyumbang kepada pemulihan ekonomi industri pelancongan negara.\u201c\nJMM pada tahun ini telah merangka pelbagai program dan aktiviti permuziuman yang menarik, dengan sasaran 155 program dan aktiviti yang merangkumi lapan pameran, 22 program signature dan 125 perancangan pengembangan muzium. Program signature merupakan program tahunan berskala besar JMM seperti Hari Muzium Antarabangsa; Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM); [email\u00a0protected]; dan Nostalgia Anak Kampung. Sementara itu, program pengembangan muzium terdiri daripada tiga kategori iaitu program jangkauan dalam atau inreach (39 program); program jangkauan luar atau outreach (29 program); dan program [email\u00a0protected] (57 program), termasuk bicara atau forum kurator.\nAntara program yang dijangka mendapat sambutan ialah Pameran Dunia Naga: Mitos dan Legenda (30 Mei hingga 30 Oktober 2022 di JMM); Pameran Seniman Perak Sepanjang Zaman (8 September hingga 31 Disember 2022 di Muzium Perak) Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (19 hingga 25 Jun 2022 di Muzium Kelantan), Museum Night Trail (30 Mei dan 16 September 2022 di Muzium Negara), [email\u00a0protected] Seni Kraf Orang Asli (23 hingga 24 Julai 2022 di Muzium Seni Kraf Orang Asli), [email\u00a0protected] (bersempena sambutan Bulan Kebangsaan), Festival Kota Kuala Kedah (20 hingga 22 Oktober 2022 di Muzium Kota Kuala Kedah) dan Nostalgia Anak Kampung (Oktober hingga Disember 2022 di Muzium Negara, Muzium Kota Kayang, Muzium Kota Kuala Kedah, Muzium Adat dan Muzium Perak).\nDalam majlis yang sama, JMM turut melancarkan laman web baharu yang telah dinaik taraf berserta aplikasi mudah alih Muzium Negara AR. Aplikasi tersebut menawarkan informasi 28 koleksi terpilih kepada orang ramai dalam bentuk kandungan multimedia realiti terimbuh atau Augmented Reality (AR) 2D dan 3D.\nMenurut Ketua Pengarah JMM, YBhg. Datuk Kamarul Baharin A. Kasim, \u201cPengalaman AR ini hanya boleh diterokai oleh pengunjung yang melawat ke Muzium Negara dengan memuat turun aplikasi sebelum atau semasa berkunjung ke Muzium Negara dan mengimbas penanda QR yang tersedia untuk menikmati pengalaman tersebut.\u201c\nAplikasi ini beroperasi dengan persekitaran sistem Android 7.0 dan iOS 12 ke atas yang dimuat turun melalui pelantar Google Play, App Store dan Huawei AppGallery. Selain memberikan pengalaman AR, aplikasi ini juga merupakan pelantar kepada pengunjung Muzium Negara untuk menerokai pengalaman maya dan mendapatkan informasi lebih terperinci mengenai Muzium Negara termasuk harga tiket, waktu operasi, lawatan berpandu, pelan kawasan dan pelan lantai galeri/pameran, fasiliti, suapan berita program dan juga aktiviti semasa, trivia bangunan Muzium Negara serta pelantar media sosial Muzium Negara (laman web, Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram)." "Istana Budaya Rancang 12 Program Sepanjang Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bertempat di Lambang Sari, Bangunan Panggung Istana Budaya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya, Istana Budaya telah melancarkan Kalendar Program Istana Budaya 2022. Majlis yang berlangsung pada 15 Mac 2022 jam 2.00 petang tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri.\nDalam ucapannya, beliau menyebut usaha semua aktiviti seni persembahan pentas pada tahun 2022 perlu dipergiatkan. Ruang-ruang pementasan yang tersedia di Istana Budaya dapat memberi peluang pekerjaan dan kepuasan berkarya kepada para penggiat seni dan pada masa yang sama turut menumbang kepada kelangsungan ekonomi industri tersebut. Tambah beliau, Istana Budaya juga perlu terlibat dengan penghasilan karya seni budaya yang bermutu dan mempunyai nilai estetika tinggi untuk produk teater, muzik dan tari yang mampu memberi tafsiran positif terhadap keunikan budaya tempatan.\nSebanyak 12 program telah dirancang dan disusun untuk pengisian Program Istana Budaya 2022, iaitu lima program terbitan Istana Budaya \u2012 Konsert Lagu Rakyat, Konsert Okestra Simfoni Kebangsaan Peter and The Wolf dan The Carnivak of Animals, tari Sulur dan Nakasari, dramatari Ratu Kuning Langkasuka dan teater muzikal Jula Juli Bintang Tujuh, manakala program luar yang telah diluluskan setakat ini ialah Konsert U.K.\u2019s Reunion 25 Tahun, Konsert Seniman Negara Dato\u2019 Seri Ahamad Nawab, 5th Malaysia Golden Global Awards (MGGA), Thunder \u2013 Kaleidoscope VI Drumming Festival 2022 dan tiga buah teater yang bertajuk \u201cAntara Tiga, \u201cTanjong\u201d dan \u201cTeater Muzikal Moyang Salleh\u201d.\nDalam majlis tersebut juga, Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri mengumumkan insentif pengecualian cukai pendapatan sebanyak 50 peratus ke atas pendapatan berkanun bagi syarikat yang menganjurkan aktiviti kesenian dan kebudayaan yang diluluskan oleh pihak MOTAC bermula dari tahun 2022 hingga tahun 2025. Insentif cukai tersebut terbuka kepada semua penganjur berkelayakan meliputi pelbagai kategori seperti persembahan pentas kesenian dan kebudayaan termasuklah seni muzik, seni tari, seni lakon, seni mempertahankan diri, adat budaya, kesusasteraan, audio visual dan media interaktif. Pemberian insentif tersebut diharapkan dapat membantu melonjakkan semula industri seni persembahan pentas dan memberi dorongan kepada penggiat seni untuk terus bergiat aktif.\nPada tahun lalu, Istana Budaya telah menjana hasil pendapatan jualan tiket sebanyak RM130 ribu setelah menerima hampir 6000 penonton bagi 11 program dalam tempoh lima bulan yang dibenarkan beroperasi oleh pihak kerajaan. Jumlah ini dijangka meningkat semula pada tahun 2022 termasuklah hasil bagi sewaan ruang sejajar dengan kenaikan penerimaan persembahan dari syarikat produksi tempatan dan agensi kerajaan yang lain.\nSetakat ini, Istana Budaya masih menerima permohonan untuk penyewaan ruang Panggung Sari bagi tahun 2022 dan 2023 mengikut kesesuaian program dan tarikh yang dipohon oleh pihak penganjur.\nTurut hadir dalam majlis Pelancaran Program Istana Budaya 2022 ialah Timbalan Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Hajah Saraya Arbi, Timbalan Pengarah Ketua Operasi Istana Budaya, Encik Mohamad Azlan Abdul Majid dan barisan pegawai tertinggi dari MOTAC dan Istana Budaya." "Kerjasama DBP-UniSZA Menjayakan Kolokium Tamadun Islam di Alam Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Bahagian Penyelidikan Sastera pada 17 Mac 2022 telah mengadakan Kolokium Tamadun Islam di Alam Melayu di Balai Seminar, Wisma DBP dengan kerjasama Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).\nTetamu Kehormat untuk kolokium ini ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan diiringi oleh Pengurusan Tertinggi DBP, iaitu Ketua Pengarah, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), YBhg. Tuan Haji Md Johari Hasan; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBhg. Dr. Hazami bin Jahari; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBhg. Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi; Pengarah Jabatan Penerbitan, YBhg. Tuan Haji Razali Che Mat; dan Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBhg. Puan Fauzilahyatun Mustafa.\nTurut hadir dalam Kolokium Tamadun Islam di Alam Melayu ialah Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin, YBhg. Profesor Dr. Fadli Adam; Pengarah Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE), YBhg. Profesor Madya Ts. Dr. Adel M Abdulaziz Al Geriani, serta para sarjana dari Universiti Sultan Zainal Abidin.\nObjektif dan matlamat Kolokium Tamadun Islam di Alam Melayu ini diadakan antaranya menemukan universiti/institusi/agensi dan para ilmuwan yang berkaitan dengan ketamadunan Melayu Islam dalam satu wacana ilmu; mengumpulkan data dan maklumat berkaitan ketamadunan Melayu Islam yang terdapat di Alam Melayu; serta mengadakan kerjasama pertukaran maklumat untuk melaksanakan pelbagai jenis projek berkaitan ketamadunan Melayu Islam.\nSelain itu, penganjuran kolokium ini dihasratkan dapat membina dan mengeratkan kerjasama antara DBP dengan institusi lain dalam hal keilmuan, terutamanya dengan institusi yang terlibat dalam kajian tersebut termasuklah mendapatkan maklumat berkaitan dengan hal ketamadunan Melayu Islam Nusantara melalui penulisan dan kajian dalam bidang kesusasteraan dan persuratan dan seterusnya disebarkan kepada masyarakat.\nKetua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran dalam ucapan alu-aluan menyatakan bahawa kerjasama DBP dengan UniSZA ini merupakan satu ruang kerjasama yang baik bagi memperlihatkan kepentingan khazanah negara, iaitu manuskrip Melayu kepada bangsa dan negara. Selain kajian manuskrip Melayu, berkemungkinan ada penemuan baharu oleh pihak UniSZA berkaitan kajian tamadun Melayu Islam daripada pelbagai sumber.\nOleh itu, kerjasama ini juga bukan sekadar dalam bentuk penerbitan, transliterasi atau \u201cmembedah\u201d ilmu dan kandungan dalam manuskrip semata-mata tetapi perkongsian pintar dalam kerja pendigitalan manuskrip Melayu wajar diberikan perhatian.\n\u201cSelain kerjasama dalam kaedah pendigitalan atau penerbitan, kerjasama ini dapat diperluaskan dalam pelbagai wahana seperti diskusi, seminar dan wacana,\u201d ujar YBhg. Profesor Dr. Fadzli Adam dalam ucapan beliau.\nPembentangan Kertas Dasar dan Ucapan Perasmian oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP turut menyatakan kepentingan kajian tentang manuskrip Alam Melayu dalam mengangkat tamadun bangsa dan Islam sebagai asas yang penting kepada negara.\nKolokium Tamadun Islam di Alam Melayu turut menampilkan empat orang sarjana dari Universiti Sultan Zainal Abidin dengan kupasan kajian dan penemuan yang berbeza. Antaranya ialah Profesor Madya Ts. Dr. Adel M Abdulaziz Al Geriani (Warisan dan Peradaban\u00a0 Melayu di Dunia Arab); Profesor Madya Ts. Dr. Fatma Susilawati Mohamad (Manuskrip dan Teknologi); Profesor Madya Dr. Baharrudin Zainal (Penyembulan Anasir Sains dalam Pelbagai Genre Manuskrip Melayu); dan Profesor Madya Dr. Hasanulddin Mohd (Kajian Manuskrip Sastera Kitab di Universiti Sultan Zainal Abidin); manakala moderator untuk sesi pembentangan ialah Dr. Ros Mahwati Ahmad Zakaria.\nMenariknya, Profesor Madya Ts. Dr. Adel M Abdulaziz Al Geriani menjelaskan bahawa, \u201cSelain manuskrip Melayu yang dikatakan begitu penting kepada negara dan tamadun Melayu, dan penulis juga dalam kalangan orang Melayu, ada juga beberapa naskhah tulisan oleh penulis Arab, yang secara jelas mengangkat ketamadunan bangsa Melayu. Misalnya, dalam buku Umat Melayu yang diterbitkan pada tahun 1908, karya Saleh Jawdat ada menyatakan tentang sejarah, isu ekonomi, politik dan sosial geografi Melayu. Begitu juga dengan Dr. Muhammad\u00a0 Abdul Rauf dalam tulisannya Tanah Melayu:\u00a0 Huraian dan Tanggapan, yang jelas memperkatakan tentang adat-adat Melayu, puisi, qasidah, pakaian dan bahasa, sejarah serta kemerdekaan. Beliau juga ada membawa contoh puisi Melayu dan sajak berlagu. Sumber dan bahan ini juga wajar dikaji dan diteliti oleh para sarjana Malaysia\u201d.\nProfesor Madya Dr. Baharrudin Zainal dalam pembentangannya bertajuk \u201cPenyembulan Anasir Sains dalam Pelbagai Genre Manuskrip Melayu\u201d menyatakan, \u201cMasyarakat kita sering keliru dengan pengetahuan yang dibawa, terutamanya dalam memahami ilmu bersumberkan manuskrip Melayu. Contohnya, ilmu bintang dan ilmu falak dikatakan disiplin ilmu yang sama sedangkan kedua-duanya mempunyai perbezaannya. Ilmu bintang ialah ilmu penujuman atau tilik dan kandungannya ada percampuran unsur khurafat, tahyul serta animisme. Walaupun ilmu falak dikatakan salah satu cabang dalam ilmu bintang, namun ilmu falak terpisah dengan astrologi tetapi menumpu kepada aspek astrometri dan geometri\u201d. Beliau juga memberikan persoalan kepada khalayak dengan menyatakan, \u201cAdakah manuskrip Alam Melayu dalam bahasa Arab tergolong dalam definisi manuskrip Melayu seperti yang digariskan oleh pihak Perpustakaan Negara Malaysia? Walaupun ia ditulis dalam bahasa Arab, ada manuskrip yang dikarang oleh ulama dan orang Melayu bagi kegunaan khalayak di Alam Melayu.\u201d\nProfesor Madya Ts. Dr. Fatma Susilawati Mohamad dalam pembentangannya sangat menitikberatkan tentang pendigitalan manuskrip Melayu. Jelas beliau, \u201cPenulisan sesuatu manuskrip secara tidak berstruktur serta ketiadaan medium penulisan yang standard menyebabkan banyak khazanah ilmu ini hilang dan rosak ditelan zaman, dan kaedah penyimpanan manuskrip secara fizikal mengakibatkan banyak yang hilang serta rosak terutamanya manuskrip koleksi individu atau orang perseorangan. Oleh itu, adalah amat penting untuk menyimpan khazanah berharga negara ini mengikut kaedah penyimpanan paling selamat, iaitu dalam bentuk digital. Setidaknya kita punya salinan sebagai bahan bantuan (back-up) sekiranya sesuatu yang tidak diingini terjadi.\u201d" "DAKEN dari Sudut Pandang Sasterawan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u2012 Forum Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) dari Perspektif Sasterawan Negara telah diadakan secara langsung menerusi laman Facebook Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada 17 Mac 2022 yang dibawakan oleh Pusat Pengajian Pascasiswazah ASWARA.\nModerator bagi forum tersebut ialah Profesor Adjung Pusat Pengajian Siswazah ASWARA iaitu YBhg. Profesor Dr. Abdul Halim Ali bersama dengan ahli panel yang terdiri daripada Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YBrs. Dr. Tan Awang Besar; Sasterawan Negara ke-10 merangkap Pensyarah ASWARA, YBhg. SN Dato\u2019 Dr. Anwar Ridhwan; serta Sasterawan Negara ke-13 yang juga merupakan Profesor Adjung Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) serta penyair dan penyajak kelahiran negeri Kedah, YBhg. SN Dato\u2019 Dr. Zurinah Hassan.\n\nDari sudut sebuah negara maju, DAKEN yang dirangka berdasarkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971 merupakan satu dasar yang memerlukan pendekatan baharu bagi memastikan dasar ini terus hidup dan berkembang untuk masa akan datang.\nYBrs. Dr. Tan Awang Besar mengulas berkenaan pembangunan dasar-dasar kerajaan dari tahun 1953 dan sektor kebudayaan yang terus berevolusi hingga kini di bawah slogan, \u201cNegara Maju, Rakyat Berbudaya\u201d. Pelbagai cabaran yang dihadapi sepanjang tempoh tersebut dan salah satunya adalah untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang berbudaya penyayang.\nBeliau juga mengingatkan bahawa, tanggungjawab merealisasikan sesebuah dasar terletak pada bahu setiap rakyat negara ini dan kerana itulah, satu tempoh yang lama dan proses yang panjang diperlukan sebelum sesuatu dasar digubal kerana bukan sahaja mengambil kira lima perkara, iaitu: Keterangkuman, Kebersamaan, Kebanggaan, Keterbukaan dan Menyeluruh, malah melibatkan kajian, kerangka sesi libat urus bersama peserta dari setiap negeri untuk mendapatkan maklum balas berkaitan dengan dasar tersebut serta sesi bersama pakar budaya untuk mendapatkan pemahaman, supaya sesebuah dasar mendapat penerimaan rakyat.\nKesan atau penerimaan DAKEN dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini dapat dilihat melalui resolusi DAKEN pada tahun 1971, iaitu matlamat yang perlu dicapai daripada Kongres Kebudayaan 1971. Hal ini merupakan satu hasrat untuk mencapai satu definisi kebudayaan yang seragam serta berpaksi kepada tiga elemen; mempunyai peralatan dan budaya yang bersifat kolektif, sistem nilai bersifat kolektif dan sistem budaya bersifat kolektif.\nResolusi penting daripada Kongres Kebudayaan 1971 menekankan bahawa kebudayaan negara Malaysia bukan sahaja mesti berasaskan kebudayaan rakyat asal rantau ini, tetapi juga menerima kebudayaan lain yang sesuai dan segala pembentukan dasar ini perlu menjadikan Islam sebagai usul penting seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu agama Islam sebagai agama persekutuan.\nMenjawab soalan moderator berkenaan harapan rakyat yang berbilang kaum di negara ini terhadap Dasar Kebudayaan Negara, YBhg. SN Dato\u2019 Dr. Zurinah Hassan berpendapat perkara ini boleh dilihat dalam objektif DEKAN itu sendiri. Setiap warga Malaysia perlu memahami matlamat yang ingin dicapai sejak sekian lama melalui dasar-dasar yang diperkenalkan sejak tahun 1953 yang merupakan manifestasi daripada kesungguhan dan usaha kita bersama dalam mewujudkan satu bangsa Malaysia.\nMengulas berkenaan bangsa Malaysia, beliau berkata, pada tahun 1971, telah berkumpul segala cerdik pandai dan para pemikir dalam pelbagai bidang seni seperti muzik, filem, sastera dan sebagainya di Universiti Malaya dalam mencari identiti yang boleh dipakai dan dikenali sebagai warga Malaysia. Dato\u2019 Zurinah menegaskan bahawa negara ini telah melalui pelbagai gelombang dan badai dalam membina sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu bagi memastikan kemakmuran dan kestabilan serta mengelakkan rusuhan kaum. Rakyat Malaysia perlu mengiktiraf diri sendiri sebagai bangsa Malaysia di samping meraikan kelainan dan keunikan setiap bangsa yang ada.\nVisi penggubalan DAKEN sebagai peneraju budaya nilai tinggi dalam sebuah negara maju boleh menjadi kayu ukur dalam melihat kejayaan DAKEN mencapai hasrat negara. Untuk mencapai visi ini, kita telah melalui satu proses yang berpanjangan dengan matlamat yang sangat besar; kemakmuran bersama dan kekitaan dalam konteks Keluarga Malaysia. Hasilnya kini sudah dapat dilihat, contohnya ketika atlet-atlet negara memeragakan busana sebagai identiti negara seperti batik, cheongsam, sari dan sebagainya.\nIndikator kejayaan ini juga dapat dilihat melalui tujuh dimensi;\nBagi setiap teras ini disertai dengan 39 strategi dan 95 pelan tindakan dan dalam mencapai hasrat negara, MOTAC juga telah menghasilkan satu pelan strategik MOTAC yang menggabungkan seni dengan budaya ke arah menjadikan setiap ahli Keluarga Malaysia ahli yang berbangga dengan identiti negara. Dalam tempoh lima tahun, teras dan pelan strategik ini perlu ditambah baik supaya hasrat DAKEN yang beraspirasikan negara maju rakyat berbudaya akan tercapai." "Meneliti Rahsia Warisan Sihat dan Cantik \u00a0(Bhg. 1)\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSecara semula jadinya, sekiranya manusia diberikan peluang untuk memilih, manusia sudah tentu memilih untuk menjadi sempurna, sihat dan cantik. Lazimnya sihat dan cantik secara lahiriah yang menjadi keutamaan kebanyakan kita berbanding dengan sihat dan dan cantik secara dalaman.\nKesihatan dan kecantikan secara dalaman boleh dikonotasikan kepada tiga perspektif, iaitu yang pertama, sihat dan cantik aspek batiniah yang berhubung dengan jiwa dan rohani serta emosi.\nYang kedua, merujuk kepada sihat dan cantik organ dalaman tubuh seperti jantung, paru-paru, hati, buah pinggang, perut, usus, pundi kencing, hempedu, rahim dan payudara (bagi wanita), prostat (bagi lelaki), urat saraf, gegendang telinga dan juga unsur air yang terdapat dalam tubuh manusia yang tidak dapat dilihat atau dirasakan kehadirannya, namun unsur ini amat penting dalam mengaktifkan semua organ dalaman yang disebut tadi, iaitu darah. Darah dalam tubuh manusia ibarat air kepada bumi.\n\nPerspektif yang ketiga bagi sihat dan cantik dalaman adalah untuk mental atau pemikiran yang ada pada seseorang. Kajian telah menunjukkan mental dan pemikiran yang sihat ini lahir daripada pembinaan karakter seseorang sejak dari usia janin lagi.\nMental yang sihat dan cantik akan mempengaruhi tindakan seseorang melakukan sesuatu perkara dan bagaimana komunikasi mendapat kesan dan akibat daripada kualiti kesihatan mental seseorang. Sudah tentu hal ini demikian menjadi faktor utama melahirkan manusia yang akan mengungkapkan bahasa dan tutur kata yang memiliki kesantunan yang tinggi dalam komunikasi dan pertuturannya.\nBerdasarkan penelitian ini, ada beberapa persoalan yang melingkari gaya hidup serta budaya masyarakat terhadap elemen kesihatan dan hubungannya dengan kecantikan yang disebut tadi. Perkongsian daripada Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad, melalui slot Studio Pesona DBP Warisan Kita yang Lama Dijunjung, yang bertajuk \u201cRahsia Sihat dan Cantik Menerusi Naskhah Perubatan Melayu\u201d baru-baru ini, telah berjaya menarik perhatian pelayar media sosial DBP.\nNaskhah perubatan Melayu ini adalah dalam bentuk manuskrip yang telah dihasilkan oleh generasi terdahulu. Manuskrip ini terdiri daripada bentuk papan dan bentuk daun lontar. Menurut Felow Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain mengatakan bahawa bermula pada kurun 1300 Masihi, penulisan ilmu-ilmu alam Melayu dalam tulisan Jawi dan bahasa Melayu telah pesat berlaku. Menurutnya lagi, manuskrip yang mengandungi pelbagai ilmu sains Alam Melayu ini telah tersebar ke serata dunia khususnya ke Eropah hinggalah ke China.\nHubungan diplomatik yang akrab terjadi antara Kesultanan Melayu Melaka dan dinasti-dinasti di China juga, telah menjadikan diaspora ilmu perubatan Melayu ini berkembang dan bergerak pantas seperti juga angin monsun yang datang membawa hujan dan menyuburkan tanah serta flora dan fauna yang menjadi unsur dan sumber penting dalam memperkaya dan membina khazanah dalam perubatan Melayu.\nMenurut Dr. Salmah Jan, ilmu perubatan di Alam Melayu ini sangat luas\u00a0 dan boleh dikategorikan kepada dua sumber utama, iaitu menerusi manuskrip dan juga melalui hasil pemerhatian masyarakat di Alam Melayu. Kedua-dua mekanisme dalam mengeksplorasi bidang perubatan Alam Melayu ini membuktikan pembudayaan dalam kalangan masyarakat Melayu yang cakna akan kemerosotan kesihatan yang berlaku kepada diri mereka, mereka belajar, memahami, bereksperimen akan keberkesanan flora yang digunakan terhadap sesuatu gejala penyakit dan mencari punca kepada terjadinya sesuatu penyakit, serta membuktikan bahan yang dicadangkan atau digunakan dalam formulasi perubatan Melayu sama ada berupaya mencegah atau merawat terhadap sesuatu penyakit sudah tentu dilakukan sebelum direkodkan dalam manuskrip-manuskrip ini.\nIlmu-ilmu ini kemudian direkodkan dengan kaedah penulisan yang mengandungi bahan-bahan sebagai ramuan ubat berserta dengan cara penggunaan, termasuk juga pantang larang dan perkara-perkara yang sepatutnya dilakukan atau dielakkan semasa melakukan rawatan.\nDalam manuskrip ini juga, turut disertakan dengan ilustrasi bagi menambahkan kefahaman pembaca terhadap satu-satu ramuan ubat yang bakal dihasilkan. Manuskrip ini disebut manuskrip Melayu kerana padanya sesuatu ilmu atau rekod ditulis dalam tulisan Jawi dan bahasa Melayu. Manuskrip ini pula dikenali sebagai manuskrip perubatan Melayu dan dikelompokkan di bawah Ilmu Kepustakaan Melayu. Manuskrip ini memfokuskan berkaitan kepintaran orang Melayu dahulu dalam bidang perubatan dan turut disebut sebagai Kitab Tib, Kitab Ubat, Tajul Muluk dan Kitab Mujarab.\nPara pembaca yang berminat dengan ilmu perubatan yang asli milik masyarakat Alam Melayu ini, boleh mengunjungi Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan juga di Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka. Kitab-kitab ini telah dikaji oleh ramai penyelidik dan tokoh prolifik yang mengkaji dari pelbagai sudut tentang perubatan Melayu ialah Allahyarham Dr. Harun Mat Piah. Perkongsian rahsia sihat dan cantik seterusnya dikongsikan daripada dua sumber manuskrip di PNM, iaitu dengan pendaftaran MSS 1292 dan MSS 2515." "Hari Seniman Negara Diraikan pada 22 Mac Setiap Tahun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Keluarga Malaysia perlu diberi kesedaran bahawa nilai kesenimanan Seniman Agung Legenda Tan Sri P. Ramlee yang sehingga kini tiada galang gantinya. Nilai tersebut bukan sahaja terletak pada karya beliau dalam industri perfileman sebagai pengarah, pelakon, penggubah lagu, penulis lirik, pemuzik dan pelawak yang sangat hebat malah juga sebagai pemuisi menjadi khazanah negara yang sangat berharga dan malar segar hingga kini.\nSebagai memperingati jasa dan sumbangan seniman agung tanah air yang tiada tolok tandingnya ini, Hari Seniman Negara akan diadakan pada setiap 22 Mac. Tarikh ini dipilih bersempena dengan tarikh kelahiran Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.\nSignifikan perubahan tarikh sambutan Hari Seniman Negara ini adalah untuk memperingati jasa serta sumbangan beliau terhadap industri kreatif negara selain mengangkat karya-karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang bukan sahaja telah berjaya melahirkan lebih banyak tokoh dan pakar industri kreatif malahan memperkenalkan Malaysia di persada dunia.\nCadangan pertukaran tarikh sambutan daripada 29 Mei kepada 22 Mac setiap tahun telah diteliti selain mengambil kira pandangan serta maklum balas daripada pelbagai persatuan dan pertubuhan berkaitan. Usul tersebut kemudiannya dikemukakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan mendapat kelulusan Memorandum Jemaah Menteri.\nSelain mengiktiraf kecemerlangan penggiat industri kreatif yang terlibat dalam bidang seni, sambutan Hari Seniman Negara saban tahun juga adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan apresiasi masyarakat terhadap peranan seni budaya dalam mewujudkan masyarakat Malaysia yang memiliki jati diri serta menghargai seni budaya negara tanpa mengira bangsa khususnya ke arah penyatuan Keluarga Malaysia.\nKKMM turut berhasrat untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan pemegang-pemegang taruh dalam penganjuran Majlis Pelancaran Hari Seniman Negara pada Mac 2022 ini bagi menghargai sumbangan dan peranan penggiat industri kreatif tanah air khususnya dalam membangunkan negara menerusi aktiviti seni, kreatif dan budaya serta usaha kerajaan memartabatkan industri kreatif negara ke tahap yang lebih cemerlang." "Sistem Ejaan yang Bermanfaat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2013 Pada hari ini, sudah 49 tahun Sistem Ejaan Rumi Baru Malaysia-Indonesia diisytiharkan. Sistem\u00a0ejaan yang digunakan secara meluas pada hari ini telah dipersetujui bersama oleh kerajaan Malaysia dengan pemerintah Republik Indonesia berikutan dengan perisytiharan serentak di kedua-dua buah negara pada 16 Ogos 1972.\nSebelum itu, usaha untuk menyeragamkan sistem ejaan antara kedua-dua buah negara Malaysia dan Indonesia telah dilaksanakan. Beberapa siri perundingan dan pertemuan juga diadakan. Berikutan hal itu, wujudlah sistem ejaan bersama yang dikenal sebagai Ejaan Melindo (Ejaan Melayu\u2013Indonesia) pada tahun 1959. Menerusi ejaan ini, penggunaan lambang fonetik yang dicadangkan itu dikatakan tidak praktikal sifatnya. Sehubungan dengan itu, ejaan ini tidak terlaksana.\nPerbincangan seterusnya antara Malaysia dengan Indonesia berhubung dengan ejaan bersama berlaku selepas tamatnya konfrontasi Indonesia\u2013Malaysia (1963-1966).\u00a0Hasil usaha sama kedua-dua buah negara ini, maka wujudlah Ejaan Rumi Baru Bahasa Malaysia, yang kemudiannya dikenal sebagai Ejaan Rumi Baru Bahasa Melayu, seperti yang termaktub dalam Pedoman Umum Ejaan Rumi Baru Bahasa Melayu 1972. Di Indonesia, sistem ini dikenal sebagai Ejaan Bahasa Indonesia yang Disempurnakan.\nSistem ejaan bersama ini dilancarkan serentak di Kuala Lumpur oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak bin Dato\u2019 Hussein, dan di Jakarta oleh Presiden Soeharto pada 16 Ogos 1972.\u00a0Ejaan yang baharu ini merupakan hasil muafakat Malaysia\u2013Indonesia yang mengenyahkan tradisi ejaan lama dan menggantikan Ejaan Za\u2018ba di Malaysia dan Ejaan Soewandi di Indonesia.\nTerdahulu, penggunaan tulisan Rumi berlaku dalam kalangan pedagang, pengembara, dan penjelajah dari Eropah ke Nusantara secara perseorangan pada abad ke-16. Para pedagang Portugis, Sepanyol dan Itali menulis kata-kata dalam bahasa Melayu yang didengari\u00a0 oleh mereka ketika berada di pelabuhan dalam huruf Rumi, dan mengeja kata-kata itu berdasarkan kesan bunyi tersebut. Mereka turut menerapkan peraturan ejaan yang ada ke dalam bahasa mereka.\nMenurut kajian, pengembara pertama, iaitu Antonio Pigafetta (warga Itali) menghasilkan ejaan Rumi dalam penulisan pada abad ke-15. Sejak itu, pengembara warga Inggeris dan Belanda turut menulis perkataan dan ayat dalam bahasa Melayu menggunakan huruf Rumi, berdasarkan sistem tulisan dan ejaan lazim dalam bahasa masing-masing.\nPada abad ke-17 hingga abad ke-19, orang Inggeris telah mengasaskan beberapa kaedah ejaan Rumi di Tanah Melayu. Antaranya termasuklah sistem Ejaan Rumi Bowrey (1701), Ejaan Rumi J. Howison (1800), Ejaan Rumi William Marsden (1812), Ejaan Rumi Negeri-negeri Selat (1878), Ejaan Rumi Swettenham (1881), dan Ejaan Rumi Maxwell (1882).\u00a0Ejaan Rumi ketika itu berpedomankan kaedah transliterasi huruf Jawi kepada huruf Rumi.\nEjaan Wilkinson yang dikenal sebagai Romanised Malay Spelling pula digunakan secara rasmi di semua sekolah umum di Tanah Melayu pada bulan Oktober 1904.\u00a0 Ejaan ini digunakan dalam kamus bahasa Melayu karangan Wilkinson.\nKemudian, muncul pula sistem ejaan rumi Za\u2019ba yang dihasilkan olehnya di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, pada tahun 1924. Seterusnya sistem ejaan ini diperkemas dan termuat dalam beberapa buah buku pedoman bahasa terbitan Pejabat Karang-mengarang maktab itu. Antaranya termasuklah buku\u00a0Ilmu Bahasa Melayu Penggal 1\u00a0(1926), Pelita Bahasa Melayu Penggal 1\u00a0(1941),\u00a0Daftar Ejaan Jawi-Rumi (1949) dengan judul\u00a0\u201cPetua-petua Ejaan Rumi\u201d oleh Za\u2019ba.\nSistem Ejaan Za\u2019ba digunakan dalam pengajaran Bahasa Melayu di Tanah Melayu dan Brunei. Ejaan ini juga dikenali sebagai Ejaan Sekolah hingga tahun 1972 apabila perisytiharan Ejaan Rumi Baru Bahasa Malaysia diwujudkan.\nSelain Sistem Ejaan Za\u2019ba, terdapat juga Ejaan Fajar Asia, Ejaan Kongres, Ejaan Melindo dan Sistem Ejaan Rumi Baru.\u00a0Sistem Ejaan Fajar Asia digunakan ketika pendudukan Jepun di Tanah Melayu sebagai propaganda pemerintah Jepun di Tanah Melayu. Ejaan Rumi ini digunakan dalam majalah dwimingguan Fajar Asia (1943).\u00a0 Selepas berakhirnya pendudukan Jepun pada tahun 1945, ejaan ini terhenti penggunaannya dan Ejaan Za\u2019ba digunakan semula.\n\u00a0\n(Sumber: Klik Web DBP (\u201cSinopsis Sistem Ejaan Bahasa Melayu\u201d oleh Muhammad Salehudin Aman)" "Hari Persatuan MyCEB Himpunkan Pemimpin Persatuan Industri Perniagaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 YB Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Haji Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya telah merasmikan Hari Persatuan MyCEB dengan tema \u201cDream Possible\u201d di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur.\nHari Persatuan MyCEB telah menjadi satu platform yang mengumpulkan sekitar 200 pemimpin persatuan dalam industri perniagaan. Pengetahuan dan pencapaian mereka dalam industri juga dapat dikongsi bersama hadirin seterusnya berjaya memberikan inspirasi kepada para pendengar .\nKementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui MyCEB telah melancarkan tiga inisiatif; iaitu Program 3R, MySafe Business Events Planner dan menandatangani MoU antara MyCEB dengan Kraftangan Malaysia.\nInisiatif 3R \u2013 Reset, Restart and Responsible \u2212 telah dilancarkan sebagai program pemulihan untuk industri dengan sokongan penuh daripada Kementerian Kewangan.\nMySafe Business Events Planner, bersama Business Events Council Malaysia (BECM) turut membantu dalam membimbing perwakilan antarabangsa dan penganjur acara melalui langkah keselamatan dalam menguatkan keyakinan orang ramai terhadap industri mesyuarat dan acara Malaysia.\nMemorandum Persefahaman antara MyCEB dengan Kraftangan Malaysia adalah sebagai tanda sokongan yang berterusan daripada MyCEB dan industri acara perniagaan untuk mengutamakan dan hanya menggunakan kraf tempatan Malaysia sebagai hadiah dan cenderahati untuk delegasi antarabangsa agar dapat mempromosikan kekayaan warisan negara kita." "Usaha Memartabatkan Institusi Raja-Raja Melayu yang Berdaulat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Yayasan Pembangunan Buku Negara dan Iris Integrated Sdn. Bhd. pada hari ini menganjurkan Wacana Memartabatkan Institusi Raja-Raja Melayu yang Berdaulat, bertempat di Pacific Ballroom, Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur, bersempena dengan pengumuman keputusan Anugerah Telenovela kali ke-8. Penganjuran wacana ini turut menampilkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Majlis Profesor Negara (MPN) sebagai rakan strategik.\nWacana ini membariskan Mantan Penyandang Kursi Institut Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM), YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Zainal Kling dan Pensyarah Universiti Malaysia Pahang, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain sebagai pembicara, dan Penyandang Kursi Institut Raja-Raja Melayu UiTM, YBhg. Profesor Datuk Dr. Shamrahayu Abdul Aziz yang menyampaikan ucapan penggulungan khas.\nMenurut Pengerusi Jawatankuasa Wacana Memartabatkan Institusi Raja-Raja Melayu yang Berdaulat, YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, wacana ini merupakan satu daripada usaha untuk memartabatkan Institusi Raja-Raja Melayu yang telah dilaksanakan sejak bertahun-tahun lamanya.\n\u201cWacana ini membicarakan mengenai konsep memartabatkan Institusi Raja-Raja Melayu yang berdaulat serta dasar yang berkaitan dengannya mengikut undang-undang dan perlembagaan, pada masa yang sama tetap berteraskan prinsip agama Islam dijunjung, manakala adat dan warisan Melayu dikendong atau disanjung,\u201d tambah beliau.\nMelalui ruangan bicara dalam wacana ini, YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Zainal berkata, \u201cMenerusi pelaksanaan wacana ini, terdapat dua perkara yang menarik perhatian saya, iaitu memartabatkan Institusi Raja-Raja Melayu dan Raja-Raja Melayu yang Berdaulat. Sejak kurun ketujuh lagi, sudah wujud tinggalan sejarah yang menyaksikan Raja Melayu bertindak sebagai pemerintah. Apabila kita hendak mencapai kemerdekaan, iaitu pada tahun 1956, institusi ini juga diangkat sebagai pemerintah. Menjadi impian kita untuk mempertahankan institusi yang telah wujud sejak zaman-berzaman ini.\u201d\nUntuk memastikan kelangsungan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu, beberapa aspek penting perlu diberikan penekanan. Antaranya adalah menerusi peranan pendidikan, pentadbiran, serta penglibatan daripada lapisan dan institusi masyarakat itu sendiri.\nDalam wacana tersebut juga, YBhg. Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi membentangkan kertas dasar \u201cMemartabatkan Institusi Raja-Raja yang Berdaulat Mengikut Perspektif Undang-undang dan Perlembagaan\u201d.\nInstitusi Raja merujuk Yang di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja Melayu yang memerintah negeri di Malaysia. Di peringkat Persekutuan Malaysia, Institusi Raja ialah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.\nMenurut beliau, kertas tersebut bertujuan untuk mengemukakan peranan Institusi Raja sebagai badan utama negara yang bertanggungjawab untuk memelihara secara patuh syariah sebagai prinsip kedaulatan Malaysia dan elemen watan sebagai struktur asas Perlembagaan Persekutuan.\nInstitusi diraja perlu dilihat melalui kerangka watannya bermetodologi jurisprudens undang-undang. Berlandaskan kerangka yang betul, usaha untuk memartabatkan Institusi Raja dapat mencapai objektif yang diharapkan.\nDalam sesi penggulungan wacana ini, YBhg. Profesor Datuk Dr. Shamrahayu menyimpulkan bahawa usaha untuk memartabatkan Institusi Raja-Raja yang berdaulat perlu dilaksanakan dari dalam dan luar istana. Beliau menyifatkan bahawa Raja-Raja Melayu mempunyai peranan tersendiri untuk memartabatkan institusi ini, manakala rakyat juga mempunyai peranan untuk memartabatkan Institusi Raja-Raja Melayu.\nDalam pada itu, beliau juga menyokong pandangan daripada peserta wacana ini mengenai cadangan resolusi yang boleh diketengahkan untuk memartabatkan Institusi Raja di negara ini. Antaranya adalah melalui pemerkasaan sistem pendidikan, hubungan yang baik antara raja dengan rakyat, pengukuhan peranan Muzium Diraja, mencontohi institusi diraja negara luar dan sebagainya.\nMajlis yang diadakan secara tertutup tersebut dihadiri oleh kira-kira 30 orang peserta yang terdiri daripada pihak daripada pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan serta cendekiawan dan sarjana dari pelbagai institusi pendidikan.\nYang turut hadir ialah Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran; Pengarah Penerbitan DBP, YBhg. Tuan Haji Razali Che Mat; dan Ketua Pegawai Eksekutif MPN, YBhg. Profesor Datuk Dr. Raduan Che Rose." "\u201cRatu Kain\u201c Perlu Diangkat secara Lebih Meluas\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Webinar Warisan Tidak Ketara Siri 1/2022 yang membawakan tajuk \u201cSongket Malaysia Warisan Dunia\u201d telah diadakan pada 24 Mac 2022 secara dalam talian melalui semua platform sosial media Jabatan Warisan Negara. Webinar tersebut menampilkan Mantan Pengarah Bahagian Daftar Warisan, Encik Khalid Syed Ali sebagai moderator dan panel penilai yang terdiri daripada Pereka Fesyen, Encik Salikin Sidek dan Pengurus Seri Gedong Songket, Puan Ramtiniwaiti Ramlee.\n\nWebinar tersebut membincangkan kepentingan menjaga dan menggunakan songket sebagai warisan nenek moyang dalam pemakaian baju Melayu, baju pengantin dan sebagai pakaian untuk menerima penganugerahan dan sebagainya.\nSongket yang dikenali dengan gelaran \u201cRatu Kain\u201d dalam tenunan Melayu telah berjaya melakar sejarah apabila disenaraikan di bawah Senarai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) oleh Jawatankuasa antara Kerajaan untuk Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara ke-16 pada Disember tahun lalu, manakala keputusan pencalonan songket telah diumumkan pada 15 Disember 2021.\nMenurut Encik Salikin, sebagai pereka fesyen, beliau banyak menekankan penggunaan songket kepada pelanggan-pelanggan beliau terutama pada bakal pengantin. Beliau juga agak kecewa kerana pemakaian songket dipandang remeh oleh generasi kini apabila sampin yang diperbuat dari songket tidak lagi dipakai dengan meluas bersama Baju Melayu.\nSeperti motif batik yang digalakkan oleh kerajaan untuk dipakai pada hari Khamis kepada penjawat awam khususnya, beliau mencari-cari ruang untuk \u201cRatu Kain\u201c ini juga boleh diangkat dan dipakai dengan meluas oleh rakyat Malaysia supaya peninggalan tersebut tidak terhakis dari memori Keluarga Malaysia.\nMenurut Puan Ramtiniwaiti pula, beliau pernah berkhidmat di Semenanjung Malaysia sebelum memutuskan untuk pulang ke tanah kelahiran beliau, iaitu negeri Sarawak apabila beliau diamanahkan dengan Seri Gedong Songket. Di sana, beliau sendiri menenun songket di samping menguruskan butik songket tersebut untuk memastikan kemahiran menenun tidak hilang dari jari.\nBeliau berkata, bagi memastikan tinggalan songket ini terus hidup, songket harus dipakai dengan meluas supaya kain ini terus dikenali. Proses tenunan juga perlu diuar-uarkan kepada generasi baharu bagi mencari pelapis yang akan meneruskan tinggalan nenek moyang ini. Beliau juga berpendapat, jika songket diperkenalkan secara meluas, peluang untuk mencari anak-anak muda yang yang terdiri daripada pelbagai kaum yang berminat dalam industri tersebut adalah lebih besar.\nPemakaian songket kini semakin pudar dalam kalangan rakyat negara ini. Jika songket diperkenalkan semula, warisan ini mampu memberi pulangan yang besar kepada negara di samping mampu menambah tenaga kerja dalam tenunan songket.\nTidak dinafikan kain songket, sama seperti batik, adalah sedikit mahal kerana prosesnya yang rumit dan mengambil masa yang lama. Namun begitu, ada juga kain songket yang dijual dengan harga mampu milik dan boleh digayakan untuk ke majlis-majlis atau sebagai pakaian pada hari raya kerana songket pada zaman ini berbeza dengan zaman dahulu yang hanya dipakai oleh golongan bangsawan, namun kini, songket sangat digalakkan untuk dipakai oleh setiap lapisan masyarakat.\nPengiktirafan UNESCO adalah satu anugerah yang berprestij yang perlu dibanggakan oleh setiap warga Malaysia dan dijaga dengan baik dan menyokong industri tersebut agar ianya tidak menjadi satu pengiktirafan retorik." "Taman Eko Rimba Kanching Kembali Beroperasi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRawang \u2013 Tourism Selangor memaklumkan bahawa Taman Eko Rimba Kanching (TERK) akan kembali beroperasi bermula pada 26 Mac 2022, dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari.\n\nPenyambungan operasi ini adalah tertakhluk kepada garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) terkini yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti berikut:\nMenurut Tourism Selangor, kadar bayaran terbaharu bagi kemasukan ke TERK adalah seperti berikut:\nIsnin \u2013 Jumaat: RM2 seorang (warganegara); RM8 seorang (bukan warganegara).\nSabtu, Ahad dan cuti umum: RM3 seorang (warganegara); RM8 seorang (bukan warganegara).\nUntuk informasi lanjut, pengunjung boleh melayari www.selangor.travel, atau mengikuti kemas kini di laman Facebook, Instagram, Twitter, aplikasi TikTok dan saluran YouTube Tourism Selangor." "Mempopularkan Arca daripada Batu Pualam Langkawi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBatu pualam merupakan antara bahan yang digunakan dalam penghasilan produk industri berupa hiasan rumah, cenderamata, jubin lantai, batu turap, tapak tangga, bangku, meja, batu peringatan, batu nisan dan seumpamanya. Batu pualam turut dikenali sebagai batu marmar dan marble.\nDalam bidang seni visual, batu pualam menjadi medium penghasilan arca. Arca dihasilkan dalam bentuk dua dimensi atau tiga dimensi secara teknik mengukir atau pemodelan menggunakan material dan medium daripada kayu, plaster, seramik, besi, resin, wayar, perak, gangsa, alabaster, gading, pulpa, porselin, aluminium, keluli tahan karat, batu, batu pasir, batu sabun, batu konkrit, batu granit dan batu pualam.\nDi Malaysia, antara disiplin arca adalah sesuatu yang seakan-akan terasing dan kurang diperkatakan secara umum berbanding dengan catan dan lukisan. Hal ini barangkali disebabkan latar belakang, budaya dan sejarah masyarakat di Tanah Melayu sendiri.\nJika ditelesuri sejarah perjalanan arca moden di Malaysia oleh pengarca tempatan, maka garis masa terawal dapat dikesan telah bermula sekitar tahun 1960-an. Antara disiplin ini lewat tahun tersebut telah mengangkat nama Syed Ahmad Jamal, Anthony Lau, A. Latiff Mohidin, Lee Kian Seng dan Redza Piyadasa dengan penghasilan arca daripada gangsa, besi, kayu, seramik dan pada tahun 1986, Syed Ahmad Jamal telah menghasilkan arca yang diberi nama Lunar Peak menggunakan batu pualam.\nTerdapat beberapa lokasi pengeluaran batu pualam secara industri di Malaysia, iaitu di Ipoh, Perak dan di Pulau Langkawi, Kedah. Di Langkawi, batu pualam boleh ditemui di Bukit Puteh dalam Mukim Kuah, Pulau Timun dan Pulau Dayang Bunting. Ekosistem yang menarik di sekitar Pulau Dayang Bunting menyebabkan pulau ini diangkat oleh Langkawi UNESCO Global Geopark sebagai Taman Georimba Marmar Dayang Bunting. Keunikan muka buminya melayakkan pulau peranginan ini dikenali sebagai Langkawi Geopark.\nPada tahun 2001, Kedah Marble Sdn. Bhd., iaitu sebuah syarikat yang menguruskan pemborongan batu pualam di Langkawi telah menutup operasi mereka, lantas batu-batu pualam yang telah dibongkah secara perlombongan besar-besaran sebelum ini telah terbiar. Hal ini telah menarik minat dan menggerakkan usaha oleh beberapa orang artis yang berada di Langkawi untuk mengguna pakai dan mengetengahkan penggunaan batu pualam sebagai medium hasil seni. Mereka ialah Zul Idris dan Abd. Hamid Muhamad bersama-sama beberapa orang artisan lain.\nPada tahun 2006, mereka berdua dan artis dari Jerman telah menghasilkan arca sempena acara Artist Colony di Laman Padi, Langkawi. Selepas itu, dengan kerjasama 14 orang artisan lagi, mereka menghasilkan arca berjudul \u201cGeopark Memorial\u201d dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi. Arca tersebut telah diletakkan di tengah pusingan bulatan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Abd. Hamid Muhamad juga pernah menghasilkan arca daripada batu pualam Langkawi dan arca tersebut telah dipamerkan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.\nApa yang istimewanya dengan batu pualam di Langkawi? Menurut penelitian pengkaji dan pengguna batu pualam tempatan, batu pualam di Langkawi mempunyai kualiti dan gred setanding dengan batu pualam di Carrara, Itali \u2013 kawasan kuari perlombongan batu pualam terkemuka di dunia. Jenis-jenis batu pualam yang dapat ditemui di Langkawi seperti antique white, white brown, white grey, grey, black, white roses, palas dan yang paling istimewa ialah jenis royal white.\nKewujudan Balai Seni Negara Langkawi (BSNL) sejak tahun 2019 telah memeriahkan suasana dan perkembangan seni visual di wilayah Utara Malaysia amnya dan Langkawi, khususnya. Pada tahun yang sama, BSNL telah menganjurkan International Marble Art Camp (IMAC 2019) di Langkawi sebagai sebahagian daripada pengisian program Route to KL Biennale 2020 dan tahun melawat Malaysia 2020. Kem ini dilangsungkan di Bengkel Fabillah Marble Craft, Kampung Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Wang Tok Rendong.\nKem yang bermula pada 30 November sehingga 13 Disember 2019 ini telah menarik minat seramai 20 orang artis dan pengarca tempatan dan luar negara, seperti dari Itali, Belgium, Perancis, Reunion Island, Indonesia, Thailand, India dan Nepal. Penganjur telah melantik pengarca batu pualam tempatan iaitu Zul Idris sebagai Pengarah Kem dan dibantu oleh Tajali Abdullah. Akhir sekali, hasil karya seni daripada kem ini telah dipamerkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, hasil kerjasama BSNL dan Malaysia Airports Holdings Berhad sebagai usaha untuk memberi kemudahan kepada orang awam dan pelancong untuk mengakses dan menikmatinya di pintu masuk negara.\nIMAC menurut Muhammad Hazrin (2019) merupakan program yang menghimpunkan artis tempatan dan luar negara untuk bersama-sama berkongsi dan mempelajari teknik serta teori untuk bereksperimen dan bereksplorasi sifat material dalam mempelbagaikan bentuk karya. Hal ini selari dengan matlamat program untuk memperkenalkan pengarca tempatan dan mempromosikan keunikan batu pualam Langkawi sebagai bahan seni.\nKejayaan penganjuran kem ini telah meletakkan arca batu pualam Langkawi sebagai sesuatu yang istimewa, lantas membenarkan penganjuran IMAC secara dwitahunan. Keadaan pandemik Covid-19 yang melanda di seluruh dunia walaupun memberi impak besar namun tidak menghalang penganjuran IMAC 2021. Untuk edisi kali ini, Ramlan Abdullah telah dilantik sebagai pengarah kem dan dibantu oleh pasukan urusetia, terdiri daripada Tajalli Abdullah, Abd. Hamid Muhamad, Low Chee Peng, Baharudin Arus, Muhammad Izzat Md Isa dan Rosli Zakaria.\nIMAC 2021 yang berlangsung pada 26 November 2021 hingga 10 Disember 2021 telah disertai oleh artis seperti Raja Azhar Idris, Ahmad Shukri Mohamed, Umibaizurah Mahir, Chai Chang Hwang dan Tan Nan See, manakala peserta artisan pula ialah Mohd Hanafiah Kamaludin, Muhammad Aqib Jamal, Nazri Abdullah, Mohd Zahir Ismail, Muhamad Rasyid Al-Redha, Muhamad Aqil Ahmad Mahmod, Ahmad Irsyaduddin Maktar, Yusri Md Yusof dan Syahril Azwan Salleh.\nTempoh kem selama dua minggu tersebut turut disertakan pelbagai aktiviti bagi memantapkan idea dan kemahiran, satu daripadanya ialah sesi Online International Artist Talk oleh artis dari luar negara, iaitu Abu Jalal dari Singapura, Ali Umar dari Indonesia, Tamaki Takaharu dari Jepun, Mahadi dari Brunei Darussalam dan Kanta Kishore dari India. Sesi ini dikendalikan oleh YM Raja Fadzilah dan disiarkan secara langsung melalui laman Facebook BSNL.\nHarapan utama untuk program seumpama ini adalah dapat menarik minat artis dan pengarca tempatan untuk menghasilkan arca dari batu pualam Langkawi serta dapat melahirkan pelapis baru melalui latihan dan pendedahan kepada para artisan. Tidak kurang juga, sebenarnya mampu ditafsirkan sebagai manifestasi kepada perkembangan seni kotemporari dan khazanah kebudayaan Malaysia.\nLangkawi bukan sahaja kaya dengan tarikan alam semula jadi dan fasiliti pelancongan semata-mata, malahan turut menyajikan satu keistimewaan yang tersendiri iaitu batu pualam berkualiti tinggi." "Nikmati Karya Seni Awam di Lapangan Terbang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dalam usaha merealisasikan karya seni awam dan membawa seni negara kepada masyarakat dalam dan luar negara, Balai Seni Negara melaksanakan inisiatif dengan kerjasama Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB), iaitu menerusi pameran karya seni KUL Art Airport yang berlangsung dari Januari sehingga Jun 2022.\n\nInisiatif ini adalah untuk memberikan peluang kepada para seniman tempatan untuk menerokai dan memperkenalkan identiti seni dan budaya di platform antarabangsa selain menambah baik faktor keselesaan dan bersifat mesra pelanggan di ruang lapangan terbang kepada pelancong domestik mahupun antarabangsa.\nKUL Art Airport boleh dikunjungi di empat buah lapangan terbang antarabangsa kendalian MAHB, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.\nPendekatan KUL Art Airport juga sejajar dengan konsep \u201cSeni di Lokasi\u201d yang telah diperkenalkan oleh Balai Seni Negara malah dilihat dapat menjadi satu daripada projek seni karya awam yang mengangkat seniman tempatan dalam mempromosikan karya seni di pintu masuk negara.\nDi KLIA, para pengunjung boleh menikmati karya seni awam bertajuk Polyhedron Pavilion. Projek ini direka berdasarkan kajian geometri yang berasal daripada budaya tatu suku kaum Malaysia Timur. Seni tatu menggunakan geometri yang dianggap sebagai sains purba dalam meneroka dan menerangkan corak tenaga. Corak ini mencipta dan menyatukan semua perkara di alam semesta. Geometri ialah bahagian teras matematik, sejak abad keenam SM dan merupakan prinsip saintifik teras di sebalik seni bina purba, termasuk piramid Mesir. Selain itu, orang Mesir purba ialah orang pertama yang menggunakan tatu geometri. Polyhedron Pavilion ialah hasil daripada manifestasi geometri tersebut.\nPolyhedron Pavilion ini adalah untuk memanfaatkan identiti tempatan yang diilhamkan oleh seni dan kraf tempatan. Struktur pavilion boleh alih ini bergerak ke bandar dan negeri yang berbeza untuk mempromosikan seni dan kraf tempatan dengan pelbagai poster dipaparkan di dalamnya. Pemilihan poster akan mempamerkan koleksi seni negara. Paparan itu akan memupuk kesedaran tentang karya seni tempatan dan memberi inspirasi kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa ke KLIA.\nOH! Budaya pula merupakan projek yang dapat dilihat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Projek ini mengalu-alukan pengunjung ke portal budaya yang terdiri daripada panel-panel yang saling berkait dan membentuk sebuah laluan berselirat. Setiap panel mempunyai keunikan yang tersendiri dan apabila disatukan, panel ini berdiri dengan cantiknya bagi membentuk corak yang penuh. Penyilangan panel ini mengingatkan kita bahawa kita mempunyai keunikan dengan cara yang tersendiri, namun berkongsi identiti yang sama, iaitu sebagai rakyat Malaysia.\nMenerokai ruang ini membolehkan kita menghayati kepelbagaian warna, masyarakat dan budaya tanpa sempadan. Menggunakan corak budaya ringkas yang diperbuat daripada papan lapis dan plexiglass yang diguna semula, ini merupakan karya yang mesra keluarga dan inklusif untuk dinikmati semua.\nDi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, para pelancong domestik dan antarabangsa boleh menghayati karya The Nature Mind of Landscape. Karya ini ialah sebuah karya grafiti untuk mengingatkan generasi kini tentang kepentingan alam dan haiwan hidupan liar yang semakin pupus. Karya ini menggambarkan beberapa jenis haiwan liar dengan berlatarbelakangkan landskap hutan dan keberadaan figura wanita memperlihatkan bagaimana hubungan antara manusia dengan alam semula jadi. Gambaran daripada warisan alam dan hidupan liar yang terdapat dalam karya ini juga ialah satu daripada keunikan negeri Sabah yang perlu dilindungi dan dipulihara.\nKarya Reciting Hope pula boleh dinikmati oleh para pengunjung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Karya ini dihasilkan sebagai satu perlambangan terhadap visi tersebut yang membawa nilai kebudayaan dan alam semula jadi. Sebagai sebahagian daripada kehidupan manusia, kita menjadikan alam sekitar dan budaya di sekeliling kita sebagai sumber ilmu dan inspirasi ke arah pertumbuhan teknologi digital.\nReciting Hope merupakan karya yang terdiri daripada gabungan elemen alam semula jadi, pembangunan dan teknologi. Dari segi representasi dan ekspresi karya arca ini, karya ini menstrukturkan dirinya kepada dua bentuk utama (saling berkait) yang membawa maksud harapan. Bahagian konkrit pecah ini melambangkan bencana akibat peperangan, kejatuhan ekonomi, bencana alam sekitar, dan wabak yang membawa kepada isu sosial, kemelesetan ekonomi, dan kemiskinan.\nDengan mempraktikkan teknologi maya realiti terimbuh (AR), para pengunjung dapat melihat seekor burung kenyalang menjelma dan terbang dengan anggun mengelilingi karya. Hal ini melambangkan pertumbuhan lestari yang ingin dicapai di Sarawak melalui inisiatif digital di samping memelihara nilai budaya dan alam semula jadi." "Perturunkan Ilmu Kearifan Tempatan Maritim kepada Generasi Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Terengganu \u2013 Kearifan tempatan ialah ilmu pengetahuan yang berkait rapat dengan kebolehan dan kemahiran seseorang melahirkan sesuatu yang mengagumkan. Ilmu kearifan tempatan merangkumi pelbagai bidang, iaitu sejarah, pendidikan, sastera, maritim, perubatan tradisional, seni, pertukangan, pembinaan, pentadbiran, sains, pertanian dan perhutanan.\nMenurut Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, kearifan tempatan ialah sekumpulan maklumat, petunjuk, nasihat atau serangkai ilmu untuk strategi kehidupan serta menjadi alat untuk kelangsungan dan kedinamikan sesuatu bangsa. Sumbernya berbentuk lisan yang disampaikan melalui mulut dan dipanjangkan kepada satu generasi ke generasi lain ataupun daripada sumber tulisan sama ada yang rasmi atau tidak rasmi.\nSehubungan dengan itu, Lembaga Muzium Negeri Terengganu melalui Bahagian Maritim mengambil inisiatif menganjurkan Seminar Kearifan Tempatan: Maritim yang memfokuskan perihal maritim terutamanya berkisar tentang dunia maritim Melayu, bertempat di Dewan Batu Bersurat, Muzium Negeri Terengganu pada 28 hingga 29 Mac 2022.\nBerdasarkan ucapan alu-aluan Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Tuan Haji Che Muhamad Azmi Ngah, beliau berkata, \u201cSeminar ini dianjurkan bertujuan untuk mengumpulkan maklumat berkaitan dengan dunia maritim Melayu khasnya dan Asia Tenggara amnya. Seminar ini mengetengahkan isu dan dapatan terkini berkaitan dengan dunia maritim tempatan dan antarabangsa.\u201c\nBeliau turut berkata, Seminar Kearifan Tempatan yang dianjurkan buat kali ketiga ini semenjak kali pertama diadakan pada tahun 2017 memberikan gambaran kepada peserta untuk membuat perbandingan dan analisis mengenai kreativiti serta inovasi antara generasi terdahulu dengan generasi sekarang terutamanya dalam bidang maritim dan perkapalan, seiring dengan usaha untuk melestarikan teras utama Muzium Negeri Terengganu, iaitu memelihara dan memulihara warisan budaya.\nKetika merasmikan Seminar Kearifan Tempatan: Maritim, YBM Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja yang mewakili Menteri Besar Terengganu, YAB Dato\u2019 Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan, dasar hasil daripada seminar ini bakal membentuk satu paradigma baharu ke arah pengekalan dan pemuliharaan warisan yang menjadi tonggak jati diri bangsa.\nBeliau secara peribadi meminati bentuk perahu yang dibina melalui pengalaman luas oleh nenek moyang suatu ketika dahulu dan mengharapkan agar para peserta menjadikan seminar ini sebagai medan ilmu yang bakal menjadi rujukan kepada masyarakat generasi kini dan akan datang.\nMenerusi ucaptama seminar ini, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, YBhg. Datuk Kamarul Baharin A. Kasim menyimpulkan bahawa kearifan tempatan maritim yang dibicarakan merupakan lanjutan kepada suatu wacana panjang yang sering berlegar dalam konteks budaya masyarakat Melayu sejak dahulu lagi.\nMenurut YBhg. Datuk Kamarul Baharin, \u201cDiskusi dan wacana tentang perkara ini perlu dilihat dari persepktif yang dalam khususnya impak ekonomi dan budaya masyarakat itu sendiri.\u201c\nKita juga perlu kembali menoleh ruang sejarah silam yang sedikit banyak boleh membangkitkan suatu citra kebanggaan kepada setiap pemilik kearifan tempatan khususnya di Terengganu.\n\u201cSelain itu, suatu garis dasar yang rapi perlu diutarakan demi mengekalkan kearifan tempatan maritim kepada generasi yang akan datang,\u201c tambah beliau.\nProgram yang dianjurkan ini diharap dapat memberikan output yang positif kepada masyarakat akan kehebatan tinggalan warisan nenek moyang dari aspek kearifan tempatan maritim." "Maaf: Lagu Terbaharu daripada Izmir Fareez\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sering disebutkan bahawa lagu juga ialah karya seni yang turut menyentuh pelbagai isu kehidupan manusia sebagaimana filem, drama, novel, cerpen, puisi dan sebagainya.\nDalam hal ini, Maaf, lagu tunggal terbaharu penyanyi Izmir Fareez Noorazalan juga tidak ketinggalan. Dengan irama ciptaan Akmalul Azmi dan Izmir sendiri yang menulis liriknya, Maaf menyentuh isu kekeluargaan, iaitu suami yang tidak menghargai isteri, dan akhirnya menyesal setelah si isteri meninggal dunia kerana tiada kesempatan untuk memohon maaf.\nPada asalnya, Maaf yang dicipta pada tahun 2020 tidak membawa kisah kekeluargaan, tetapi berkaitan dengan kematian seseorang. Begitu pun, seperti \u201csambil menyelam minum air\u201d, lagu tunggal ini juga lahir sebagai usaha Izmir meneruskan langkahnya dalam industri muzik dan dakwah tanah air.\nMenurut Izmir, 33 tahun, pengarah muzik dan penerbit untuk Maaf ialah Along Exists dengan bantuan Imtiaz dari kumpulan Simfoni.\n\u201cSetelah diberikan kepadanya, Along mengatakan Maaf lebih kepada lagu berkisar kekecewaan percintaan era 1990-an, dan tidak sesuai dengan lirik yang \u2018berat\u2019 seperti kematian,\u201d kata Izmir.\nSudah menjadi lumrah, kebanyakan lagu yang bertemakan kekecewaan akibat percintaan tahun 1990-an akan dikaitkan dengan kisah percintaan \u2013 putus cinta. Justeru, Along menyarankan supaya isi lirik ditukar daripada kematian kepada percintaan.\nPada akhirnya, lirik yang membawa kisah percintaan dihasilkan oleh Izmir. Walau bagaimanapun, oleh sebab COVID-19 semakin berleluasa di Malaysia, pergerakan ke studio untuk membuat rakaman muzik dan vokal pula terbatas.\n\u201cSetelah kerajaan membenarkan pergerakan merentas daerah dan negeri, rakaman muzik dan vokal Maaf dimulakan pada tahun 2021,\u201d jelas Izmir yang juga pendakwah bebas di televisyen dan radio tempatan.\nSecara keseluruhan, Maaf membawa kisah kehidupan suami dan isteri setelah berkahwin selama tiga tahun. Selepas tempoh tersebut, hanya isteri yang menunjukkan rasa cinta dan kesetiaan kepada suami tanpa rasa jemu dan lelah.\nSebaliknya, cinta suami semakin pudar terhadap isteri. Setelah isteri meninggal dunia akibat sakit tenat, baru suami mula merasakan kehilangan, serta menyesali pelakuan dan layanan yang dia berikan.\nWalau bagaimanapun, penyesalan suami sudah terlambat kerana isteri telah pergi buat selama-lamanya. Dia hanya mengharapkan isteri mengampunkan dosanya di akhirat kelak.\nUntuk lebih memantapkan kemunculan dan penyampaian pesanannya, video muzik Maaf turut dihasilkan di bawah arahan Ahmad Nasuha daripada NSPixtures dengan penggambaran selama dua hari di Alor Setar dan Sungai Petani, Kedah.\n\u201cSetiap urusan penggambaran diuruskan oleh Imtiaz sebagai Pengurus Projek Maaf. Pelakon utama dalam video muzik ini ialah Arie Laso dan Aleya Trisya, model pakaian lelaki dan wanita,\u201d jelas Izmir yang pernah membintangi drama Ada Apa dengan Saka (TV9) dan Ajari Playboy itu (TV3).\nPada asalnya, tambah Izmir yang sedang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia sejak tahun 2019 dalam pengajian Ijazah Aarjana al-Quran dan Sunah, penggambaran muzik video dilakukan di sekitar Kuala Lumpur.\nNamun demikian, oleh sebab pengarah, juruteknik dan para pelakon menetap di utara, keputusan diambil untuk membuat penggambaran di sekitar Kedah.\nIzmir, anak kedua daripada tiga beradik, berharap Maaf dapat diterima oleh seluruh lapisan masyarakat kerana berunsurkan kekeluargaan yang dihadapi oleh semua orang dan tempuhi dalam kehidupan.\nVideo muzik Maaf boleh ditonton di laman YouTube rasmi Inteam Digital, dan didengari di platform digital seperti Spotify, Joox, iTunes, Deezer, Kkbox, atau menerusi permintaan lagu di stesen-stesen radio seluruh negara." "Arca Dasar Laut Tarikan Terbaharu Pelancongan Langkawi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2013 Arca Dasar Laut bakal menjadi tarikan terbaharu yang boleh dikunjungi di Pulau Langkawi. Pelancongan berasaskan komuniti, Arca Dasar Laut ini merupakan sebuah program yang dianjurkan oleh Balai Seni Negara dengan kerjasama beberapa pihak lain. Antaranya ialah Marine Research and Excellent Centre (MAREC), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Kedah, Geopark Langkawi, Jabatan Perikanan Malaysia, Pejabat Tanah Daerah Langkawi dan Polis Marin Langkawi.\n\nProgram ini yang bermula pada Disember 2021 dan dijangka berlangsung hingga Mei 2022 telah mendapat penajaan daripada pihak Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dan LADA.\nSembilan orang artis berpengalaman yang telah terpilih bagi program ini ialah Ahmad Fuad Osman, Zainuddin Abindinhazir, Mohd Al-Khuzairie Ali, Abdul Muthalib Musa, Umibaizurah Mahir Ismail, Low Chee Peng, Tengku Sabri Tengku Ibrahim, Maxine Xie Xian Xin dan Mohd Radzi Ismail. Para artis tersebut akan bersama-sama komuniti setempat yang terdiri daripada nelayan, operatus selam skuba dan artisan tempatan dan akan bersama-sama dalam penghasilan karya arca ini.\nBahan simen konkrit yang telah dirawat akan dijadikan bahan utama pengasilan arca kerana bahan ini bersifat mesra kepada ekosistem dan ekologi marin manakala mitos dan legenda Pulau Langkawi akan diangkat sebagai rujukan dalam menghasilkan karya arca tersebut. Pengkalan Kampung Kubang Badak yang merupakan tempat pertemuan dalam kalangan peminat biogeotrail tempatan dan antarabangsa, aktiviti snorkeling dan juga memancing dipilih sebagai tempat untuk melaksanakan proses penghasilan arca dasar laut ini.\nKarya arca yang telah siap dengan saiz minimum lima kaki setiap satunya akan ditempatkan di perairan Pulau Pasir. Arca-arca ini akan berada di daratan, sekitar pesisir, gigi pantai dan juga akan dilabuhkan di dasar laut sekitar pulau berkenaan.\nKehadiran arca-arca ini akan memperkaya lagi koloni dan habitat marin yang bakal memberi limpahan rezeki kepada komuniti sekitar yang seterusnya menkadi pemangkin kepada pelancongan ekomarin yang baharu di Pulau Pasir, Langkawi.\nBagi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan program ini, bolehlah layari laman sesawang atau ikuti laman sosial rasmi Balai Seni Negara." "Falsafah di Sebalik Adat Perpatih\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nInisiatif Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan telah menganjurkan satu webinar bertajuk \u201cAdakah Adat Perpatih Masih Sesuai Pada Masa Kini? Dikekalkan atau Dihapuskan?\u201d yang telah disiarkan secara langsung pada 5 April 2022 melalui platform Google Meet sememangnya wajar diberikan perhatian.\nPerkongsian selama dua jam itu menampilkan Profesor Madya Dato\u2019 Paduka Dr. Haji Mohd Rosli Saludin yang merupakan Felo Penyelidikan Kanan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai ahli panel. Beliau juga merupakan Tokoh Warisan Orang Hidup.\nRuang bicara ini membolehkan Profesor Madya Mohd Rosli menyentuh pelbagai Adat Perpatih yang masih teguh diamalkan di Negeri Sembilan. Menurut beliau, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan menyebut bahawa adat ini berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera dan diasaskan oleh seorang pemimpin Minang bernama Sutan Balun yang bergelar Dato\u2019 Perpatih Nan Sebatang.\nAdat ini ialah amalan dan peraturan hidup yang ditentukan bagi masyarakat Minangkabau yang rata-ratanya merupakan petani pada ketika itu. Tidak ada tarikh yang tepat dicatatkan mengenai bila adat ini diwujudkan. Pun begitu, secara umumnya, Adat Perpatih telah dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) oleh perantau Minangkabau pada abad ke-14 Masihi.\nPada hakikatnya, adat undang-undang yang sebenar sudah wujud sejak zaman Nabi Allah SWT. Hal ehwal perkahwinan dan pentadbiran ini juga telah digunakan oleh umat Nabi Muhammad hingga hari ini, manakala setiap amalan dan adat pula terbentuk oleh penduduk setempat.\n\nNegeri Sembilan diketahui terkenal kerana keunikan kewujudan suku-sukunya seperti Biduanda, Paya Kumboh, Tanah Datar, Batu Hampar, Tiga Nenek, Anak Acheh, Mungkal dan sebagainya. Menjawab persoalan yang bertanyakan mana antara suka-suku ini bakal terpilih dalam pemilihan dan pelantikan menjadi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Profesor Madya Mohd Rosli menjelaskan bahawasanya pemilihan akan dilakukan hanya daripada empat suku, iaitu Sungai Ujung, Jelebu, Johol dan Rembau mengikut kekananan mereka.\nBeliau turut berpesan bahawasanya tidak sepatutnya wujud berpuak-puak dalam hal ehwal pelantikan pemimpin. Pusaka adat ialah suatu perkara yang cukup berat dan perlu diteliti dengan memilih dan memerhatikan kelayakan pemimpin yang bakal dilantik. Perkara ini perlu diperhalusi supaya pemimpin yang baik dan layak bakal diangkat menjadi pemimpin. Namun begitu, mereka tidak terpilih tidak bermakna mereka tidak baik mahupun tidak layak. Berkecil hati boleh menimbulkan sistem yang tiada musyawarah, tidak reda-meredai dan tiada permuafakatan yang sebenarnya ialah unsur asal yang menyumbang kepada kehebatan sistem Adat Perpatih.\nBerkaitan pemilihan pemimpin, beliau menjelaskan bahawa mengikut Adat Perpatih, pemimpin perlu datang daripada keturunan yang baik serta mempunyai kedudukan ekonomi yang baik untuk memudahkan mereka membantu masyarakat mereka. Hal yang perlu dielakkan dalam pemilihan pemimpin adalah seperti pemimpin yang terputus nasabnya.\nNegeri Sembilan juga terkenal dengan adat masuk suku atau adat berkadim atau adat berkodin, iaitu adat bersaudara. Berkadim ialah satu jalinan ikatan kekeluargaan antara individu (daripada suku A atau orang luar tidak punya suku) ke keluarga yg bersuku B atau dipanggil masuk kumpulan suku\nKata beliau, \u201cKodin ada dua, iaitu Kodin pinang sebatang yang bermakna individu tersebut membawa diri sahaja dan kodin aur serumpun, iaitu dengan membawa keluarga untuk disukukan dalam suku-suku tersebut. Ini suatu contoh amalan yang baik.\u201c\n\u201cSebagai contohnya, pengantin lelaki yang datang dari negeri Kelantan perlu dikodinkan supaya mendapatkan orang dan suku yang akan membantu, menjadi teman berbincang buat beliau. Bayangkan jika dia perlu menunggu suku asalnya dari Kelantan yang mungkin boleh memakan masa lapan jam perjalanan untuk membantunya disebabkan dia tidak mempunyai suku,\u201d tambah beliau.\nMenepis dakwaan bahawasanya Adat Perpatih dikatakan sebagai syirik dan bidaah, Profesor Madya Mohd Rosli menjelaskan bahawasanya anak adat perlu menunjukkan contoh yang baik kerana apabila tersilap langkah, hal yang demikian boleh menimbulkan prasangka. Mereka perlu bertanya yang mana dikatakan bidaah dan yang dikatakan syirik kemudiannya perlu menjelaskan sebaik-baik yang mungkin kepada mereka yang bertanya.\nMenyentuh mengenai pewarisan harta mengikut Adat Perpatih, beliau menerangkan dengan panjang lebar bahawasanya tanah adat diwariskan kepada anak perempuan. Pun begitu, anak lelaki turut mewarisi dan mempunyai kuasa penuh namun tidak diletakkan nama mereka disitu.\u00a0 Jika mahu adanya hitam putih terhadap tanah tersebut perlulah wujud permuafakatan antara adik-beradik kerana tanah tersebut merupakan tanah kekeluargaan dan tanah persepakatan.\nTambah beliau lagi, \u201cJika tanah tersebut sudah menjadi bentuk duit, maka duit tersebut bukan hak mutlak perempuan. Dalam hal ini, perkiraan dari aspek faraid akan berlaku. Bagi setiap aspek yang melibatkan wang ringgit, lelaki akan mendapat hak yang lebih banyak berbanding dengan perempuan. Jika berlaku apa-apa kepada adik-beradik perempuan, adik-beradik lelaki wajib membantu seperti dalam hal persekolahan anak-anak dan menyediakan kewajipan yang berkaitan.\u201d\nBeliau juga menjelaskan amalan-amalan baik yang dipraktikkan oleh Adat Perpatih seperti amalan pemakanan, pewarisan, perkahwinan, pertunangan yang mana jika dikaji kesemuanya mempunyai falsafah yang baik dan molek untuk dipraktiskan oleh masyarakat hari ini serta kekal relevan untuk generasi akan datang.\nDapat disimpulkan di sini bahawasanya kita perlu mengambil inisiatif untuk memahami makna dan falsafah di sebalik adat-adat yang terkandung dalam Adat Perpatih seterusnya memperpanjang perkara ini kepada generasi muda agar adat ini dapat dilestarikan oleh generasi seterusnya serta tidak lekang dek perubahan zaman." "Industri Bahasa ke Arah Pemikiran Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nBANGI \u2212 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada hari ini berjaya menganjurkan Webinar Bahasa Melayu Bahasa Ekonomi: Industri Berasaskan Bahasa. Webinar yang dirasmikan oleh Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP ini bersiaran secara langsung menerusi aplikasi Zoom.\nWebinar ini diadakan bagi mendapatkan input serta pandangan pakar mengenai kaedah atau cara untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang mempunyai nilai komersial selaras dengan salah satu teras Pelan Strategik DBP 2021-2025, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi.\nSelain menampilkan Puan Ainon Mohd, Ahli Lembaga Pengelola DBP sebagai pembentang kertas dasar, terdapat lima orang pembentang dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM yang turut berkongsi kertas cadangan. Antara inti pati pembentangan tersebut termasuklah contoh model pengeksportan bahasa dan budaya dari negara luar untuk panduan, sumber kekayaan baharu yang perlu dibangunkan dan melatih pekerja industri bahasa untuk bertukar ke arah cara pemikiran baharu.\nLima kertas cadangan yang dibentangkan itu meliputi tajuk seperti\u00a0 \u201cKerangka Umum Pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai Teras Industri Berasaskan Bahasa di Malaysia\u201d oleh Profesor Madya Dr. Mohammad Hakimi Shafiai, \u201cPenguatkuasaan ke Arah Mengindustrikan Bahasa Melayu\u201d oleh Profesor Madya Dr. Noradiva Hamzah, \u201cModul Pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Komersial\u201d oleh Profesor Madya Dr. Che Aniza Che Wel, \u201cRepositori Digital DBP Seantero\u201d oleh Profesor Madya Dr. Ruzita Abdul Rahim dan \u201cPengantarabangsaan Bahasa Melayu melalui DBP sebagai Destinasi Pelancongan Malaysia\u201d oleh Profesor Madya Dr. Norlida Hanim Mohd Salleh." "Inteam-Sufian Suhaimi Raikan Ramadan dengan Damba Kasih 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pelbagai cara dan amalan dilakukan oleh umat Islam untuk menyambut dan mengisi Ramadan pada setiap tahun. Kesemuanya boleh dan baik selagi mengikut lunas syarak serta patuh syariah.\nGolongan seni turut meraikan serta memenuhi Ramadan mengikut kebolehan dan bakat masing-masing yang juga kurniaan Allah SWT. Antara mereka ialah penyanyi terkenal tanah air, Sufian Suhaimi yang menerima tawaran bekerjasama dengan kumpulan Inteam dalam lagu tunggal terbaharu mereka yang berjudul Damba Kasih 2022.\nTidak dapat disangkal bahawa lagu juga antara medium berkesan dalam menyampaikan sesuatu pesanan, sama ada baik atau buruk. Apabila menyebut Inteam, kumpulan nasyid terkemuka tanah air, pesanan yang disampaikan menerusi lagunya amat baik dan murni.\nSebenarnya, Damba Kasih 2022 ialah lagu tunggal yang merupakan rakaman semula daripada lagu asal Inteam yang pernah diterbitkan pada tahun 2003.\nNamun demikian, Sufian dan Inteam mahu mengajak peminat bermunajat, serta bermuhasabah mendekatkan diri kepada Allah, bersempena dengan kedatangan Ramadan tahun 1443 Hijrah ini.\n\u201cWalaupun Damba Kasih 2022 merupakan lagu lama yang diberikan nafas baharu, tetapi pendekatan dari segi susunan muzik, dan cara nyanyian agak berbeza daripada lagu asal,\u201c jelas Sufian, yang terkenal dengan lagu Terakhir, Di Matamu\u00a0dan Mencuba.\nBegitu pun, tambah Sufian, 29, liriknya yang menyentuh soal ketaubatan dan ketuhanan tetap dikekalkan.\nTambah Sufian, beliau memang menggemari lagu-lagu nasyid dan pernah menyanyikannya, termasuk lagu-lagu Inteam sendiri.\n\u2018Jadi, saya tidak berfikir panjang apabila ditawarkan berkolaborasi dengan Inteam. Saya terus menerimanya,\u2019 jelas Sufian.\nMenurut ketua kumpulan Inteam, Mohd Syahril Abdul Khalid, meskipun COVID-19 masih mengancam dan agak membataskan pergerakan, tetapi mereka bersyukur serta berterima kasih kepada Sufian, dan syarikat rakaman beliau yang bersetuju bekerjasama.\n\u201cKami pernah merakamkan lagu tunggal kolaborasi dengan Khai Bahar, Sam Bunkface dan Alif Satar. Kerjasama pihak Sufian semasa sesi rakaman audio dan video muzik pun sangat baik, dan nyanyiannya memberikan nafas baharu dengan penghayatan terbaik,\u201d tambah Syahril, 42 tahun, yang juga penyanyi utama Inteam.\nMelodi Damba Kasih dicipta oleh Isman Hijjaz yang menggunakan nama pena Manis Helma dan Ito Lara. Liriknya karya Manis sendiri.\nTambah Syahril, Damba Kasih merupakan lagu berbentuk luahan penyesalan dan taubat seorang hamba. Lagu ini pernah menjadi judul album, dan lagu yang dimuatkan dalam album ketiga Inteam yang terjual melebihi 30 ribu unit ketika itu." "Meneliti Rahsia Warisan Sihat dan Cantik (Bhg. 2)\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPusat Kebangsaan Manuskrip Melayu (PKMM) Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) ditubuhkan pada tahun 1985 dan hingga kini pusat ini mempunyai 5119 naskhah manuskrip Melayu, manakala sejumlah 600 naskhah telah dibuat salinan dalam bentuk mikrofilem. Manuskrip ini meliputi lapan bidang utama merangkumi sastera kitab, hikayat, sastera epik, wayang dan panji, sastera sejarah, kisah Islam, tatanegara dan perundangan serta ilmu tradisional. Ilmu tradisional yang terdapat dalam manuskrip tersebut telah diselidiki turut dikongsikan serta dipaparkan kepada umum sebagaimana yang telah dilakukan kepada naskhah perubatan yang dinamakan Kitab Tib.\nUntuk menyebarkan warisan ilmu yang ada pada naskhah perubatan Melayu tradisional ini, PNM telah menerbitkan Kitab Tib: Ilmu Perubatan Melayu oleh Harun Mat Piah (Dr.), pengkaji dan penyelidik manuskrip Melayu, pada tahun 2019.\nBuku ini mengandungi fasal-fasal perubatan yang antaranya turut dikongsikan oleh Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad baru-baru ini. Sudah tentu, generasi moden hari ini tidak mahu ketinggalan untuk mengetahui apakah rahsia warisan sihat dan cantik yang telah diformulasikan oleh generasi kita terdahulu.\nBerdasarkan sumber PNM, manuskrip Kitab Tib dengan daftar MSS 1323 merupakan manuskrip yang bertarikh 1302H yang dihasilkan daripada kepingan buluh yang diikat dengan tali. Ilmu perubatan yang terkandung dalam manuskrip ini berkaitan dengan rawatan sakit mata, cara mengubati luka yang berdarah serta azimat dalam perubatan tradisional. Manakala manuskrip Kitab Tib dengan daftar MSS 489 pula menjelaskan berkaitan cara mengubati pelbagai jenis penyakit dengan menggunakan bahan daripada pokok dan tanaman yang dicampurkan dengan rempah ratus.\nPada era kini, perusahaan berasaskan tumbuhan herba dan rempah ratus dalam menghasilkan produk kesihatan dan kecantikan perlu mendapat lesen perusahaan dan lulus ujian klinikal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bagi memastikan produk yang dihasilkan menepati syarat dan undang-undang serta piawaian produk yang dibenarkan. Pengeluar produk juga dilarang dalam promosi dan pengiklanan dengan menyatakan bahawa produk berasaskan herba keluaran syarikat mereka mampu mencegah atau merawat sesuatu penyakit.\nSeterusnya, \u00a0mari kita meneliti perkongsian daripada Profesor Madya Dr. Salmah Jan berkaitan dengan manuskrip Melayu ini. Beliau menyatakan bahawa\u00a0 kandungan yang terdapat dalam teks manuskrip Melayu berkaitan dengan syarat menjadi tabib.\nTabib ialah seseorang yang mempunyai ilmu untuk merawat serta mengetahui penyakit yang dialami oleh seseorang. Kebiasaannya dalam masyarakat Melayu, seseorang yang bertaraf tabib dalam masyarakat bukan sahaja memiliki kemahiran dalam perubatan semata-mata tetapi juga mempunyai pengetahuan pelbagai ilmu lain seperti ilmu ghaib khususnya berkaitan dengan ilmu kosmologi. Ilmu ini merupakan kaedah untuk \u00a0memahami hubungan alam semesta dengan sesuatu penyakit yang ada pada manusia.\nSeterusnya adalah berkaitan dengan sukatan waktu yang mesti dipatuhi oleh tabib dan pesakit yang dirawat. Sukatan waktu ini juga merupakan penetapan waktu yang diperlukan untuk melihat keberkesanan tindak balas ramuan yang diberikan kepada sesuatu penyakit. Waktu merawat pesakit tidak boleh berlaku pada sembarangan waktu, kebiasaannya ada waktu-waktu tertentu perlu dipatuhi oleh tabib dalam melakukan perawatan. Contohnya, perubatan yang hanya dijalankan pada waktu pagi sahaja kerana apabila melangkaui waktu tersebut dikhuatiri\u00a0 ramuan yang diberikan tidak lagi mujarab. Selain itu, pesakit mestilah mematuhi tempoh masa penggunaan ramuan ubat yang telah ditetapkan bagi memastikan keberkesanan ubat yang telah diberikan dan memberikan kesembuhan kepada penyakit tersebut.\nPerkara ketiga yang terpenting dalam kaedah perubatan berdasarkan naskhah perubatan Melayu ini adalah berkaitan dengan sukatan, ukuran dan timbangan bahan ramuan yang disediakan kepada seseorang pesakit. Setiap diri individu adalah tidak sama walaupun mempunyai penyakit yang sama. Oleh itu, para tabib akan memastikan sukatan yang betul diberikan kepada pesakit dan juga akan melihat serta mengenal pasti kemujaraban bahan ramuan yang diberikan kepada pesakit, iaitu sama ada kesannya bertambah baik atau menjadi lebih buruk atau semakin teruk penyakit yang dihidapi oleh\u00a0 pesakit yang diubati. Justeru itu, sukatan ini perlulah dipatuhi oleh pesakit agar bahan ramuan yang telah disediakan benar-benar berkesan untuk merawat penyakit tersebut.\nSeperti yang dimaklumi, bahan-bahan ramuan perubatan Melayu yang terdapat dalam naskhah Melayu ini terdiri daripada pelbagai jenis tumbuhan dan rempah ratus. Tabib ketika ini amat memahami penyakit yang dialami oleh seseorang, dan khasiat sesuatu ramuan yang telah dicadangkan kepada pesakit kebiasaannya telah pun diketahui sejak turun-temurun lagi. Contohnya, pada naskhah MSS 2515 bagi pesakit yang mengalami sakit senak hulu hati, ramuan yang disediakan kepada pesakit adalah untuk diminum dan juga untuk sebagai ubat luaran sahaja.\nRamuan yang diperlukan ialah buah pelaga dan kulit kayu manis. Bahan-bahan tersebut perlu digiling sehingga halus dan kemudiannya dicampurkan dengan air madu. Setelah itu,\u00a0 diminum. Sebagai tambahan ramuan, diambil pula lada sulah tujuh biji, jintan hitam, halba dan lengkuas. Kesemua bahan ini juga hendaklah digiling sehingga lumat dan dicampur dengan sedikit air sehingga menjadi pes dan kemudian disapu pada bahagian yang dimaksudkan atau yang terkena penyakit. Berdasarkan contoh daripada manuskrip MSS 2515 ini juga telah didedahkan kaedah pembuatan dan penggunaan ubat oleh pengarang manuskrip ini. Ramuan ubat yang disediakan untuk pesakit sama ada untuk diminum, dimakan atau kegunaan luar sahaja, iaitu sebagai salap atau diletakkan pada tempat yang sakit untuk tujuan mengeluarkan angin, melegakan sakit dan sebagainya.\nPerihal keenam yang direkodkan dalam kandungan naskhah perubatan Melayu berdasarkan perkongsian Profesor Madya Dr. Salmah Jan adalah berkaitan dengan pantang larang yang mesti diikuti oleh tabib dan juga kepada pesakit ketika dalam perawatan. Contohnya berkaitan pantang larang yang dijelaskan oleh beliau, antaranya bagi penyakit mata hendaklah seseorang itu mengelakkan mengambil makanan yang manis dan unjuran ini terhubung pula dengan kesan penyakit diabetes yang boleh menyebabkan buta jika gula terlalu tinggi dalam darah pesakit.\nBagi penyakit kurap pula, \u00a0pantang larangnya ialah tidak boleh makan ikan yang licin seperti belut, daging, asam dan segala yang melata. Manakala pantang larang kepada orang yang mengambil julap atau ramuan untuk memudahkan pencernaan tidak dibolehkan terkena hujan, bimbang akan boleh membawa maut. Ini antara pantang larang yang terhubung dengan pengambilan makanan yang boleh menyebabkan ramuan bahan yang diberikan oleh tabib akan menjadi tidak mujarab atau akan menjadikan pesakit sukar untuk dirawat. Oleh sebab itu, dalam keadaan masa kini, terdapat pantang larang yang perlu difahami oleh semua orang, agar penyakit yang dialami akan dapat dirawat atau mungkin dapat disembuhkan." "Kraftangan Malaysia dan Malaysia Airlines Berhad Jalin Kerjasama Memartabatkan Industri Kraf Tangan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kraftangan Malaysia dan Malaysia Airlines Berhad telah memeterai sebuah memorandum persefahaman (MOU) pada awal April 2022 lalu untuk mempromosikan dan memasarkan produk kraf tempatan melalui beberapa inisiatif yang memanfaatkan usahawan kraf dan juga pelanggan syarikat penerbangan nasional.\nBertempat di Kompleks Kraftangan Kuala Lumpur, MOU ini telah ditandatangani bersama oleh Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Puan Aiddah Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG), Kapten Izham Ismail.\nMajlis ini turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Dr. Santhara. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia, Puan Hajah Rubiah Haji Wang.\nKerjasama ini juga mengalu-alukan kedatangan Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn. Bhd. yang juga merupakan anak syarikat Kraftangan Malaysia sebagai rakan dagang terbaharu JOURNIFY, platform digital pelancongan dan gaya hidup sehenti milik MAG. Matlamat MOU ini adalah untuk mempromosikan Malaysia di mata dunia.\nKraftangan Malaysia juga seiring dengan Malaysia Airlines Berhad dalam usaha mengetengahkan seni dan budaya sebagai perlambangan atau ikon identiti Malaysia khususnya menerusi produk kraf tempatan.\nJOURNIFY merupakan sebuah platform digital yang memberi pengguna akses kepada segala maklumat berkaitan perjalanan mereka seperti tempat-tempat menarik, perancangan percutian sehinggalah kepada pengalaman membeli-belah pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Para pengunjung sama ada dari dalam dan luar negara boleh menjadikan platform ini sebagai tempat rujukan utama kerana melaluinya mereka boleh mendapatkan informasi terbaharu mengenai produk-produk buatan tempatan dan lokasi-lokasi percutian menarik yang ada di Malaysia.\nKini, JOURNIFY juga menyediakan perkhidmatan JOURNIFY2U, iaitu perkhidmatan penghantaran barangan yang dibeli secara dalam talian ke ruang berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).\nPerkhidmatan eksklusif ini diharapkan mampu untuk menaikkan nama negara kerana memberikan kemudahan kepada para pelancong dari luar negara terutamanya untuk membawa pulang cenderahati dari Malaysia secara lebih mudah.\nPara pengunjung boleh lawati www.myjournify.com atau muat turun aplikasi JOURNIFY untuk mendapatkan maklumat terkini dan membeli-belah lebih daripada 1000 produk premium termasuk produk kraf tangan tempatan, produk daripada artisan, produk eksklusif jenama Malaysia Airlines dan pelbagai lagi tawaran menarik.\nDiharapkan kerjasama antara kedua-dua pihak ini mampu memberikan impak yang besar kepada industri kraf negara selain dapat menyuntik semangat usahawan kraf untuk terus aktif menghasilkan produk kraf yang unik, berkualiti dan beridentitikan negara sebagai cenderamata khususnya kepada para pelancong luar yang berkunjung ke negara kita." "Bazar Ramadan Saji Keunikan Hidangan Tradisi Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSetiap kali tibanya bulan Ramadan, antara perkara yang paling dinanti-nantikan oleh masyarakat Malaysia semestinya ialah bazar Ramadan.\nKetika seluruh Malaysia dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020, kebanyakan daripada kita merindui suasana dan pelbagai hidangan yang dijual di sana. Walaupun tahun lepas kerajaan membenarkan penganjuran bazar Ramadan pada awalnya tetapi bazar Ramadan di tujuh buah negeri diarah tutup dan tidak dapat beroperasi ke penghujung Ramadan akibat peningkatan kes pandemik COVID-19.\nBerbezanya Ramadan pada tahun ini adalah apabila negara kita sudah dalam peralihan ke fasa endemik mulai 1 April 2022 dan kerajaan mengumumkan tiada sekatan penganjuran bazar Ramadan di seluruh negara.\n\nMenurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bazar didefinisikan sebagai sekelompok kedai kecil atau gerai tempat menjual berbagai-bagai-bagai barang. Di Malaysia, pada bulan Ramadan, terdapat dua bazar, iaitu bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri. Para peniaga di bazar Ramadan kebanyakannya menjual pelbagai jenis makanan dan minuman untuk hidangan berbuka puasa dan kebiasaannya bazar ini mula beroperasi pada pukul 3.00 petang hingga waktu berbuka setiap hari.\nBazar Aidilfitri pula, para peniaganya menjual barangan bagi persiapan sambutan Aidilfitri seperti baju raya, kuih raya dan sebagainya yang beroperasi seawal pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari.\nBazar Ramadan di negara kita bukan sekadar menjadi tumpuan umat Islam yang ingin membeli juadah untuk berbuka berpuasa tetapi turut menjadi tumpuan pelbagai lapisan masyarakat termasuklah mereka yang bukan beragama Islam. Bukan itu sahaja, para pelancong dari luar negara juga gemar mengunjungi bazar Ramadan untuk lebih mengenali budaya masyarakat Malaysia menerusi makanan.\nWalaupun ada yang menyatakan bazar Ramadan juga sama seperti pasar malam tetapi pada dasarnya ada sedikit perbezaan antara kedua-duanya. Hal ini dikatakan demikian kerana bazar Ramadan ada menawarkan hidangan yang lebih bersifat tradisional dan warisan seperti ketupat, lemang dan rendang yang jarang-jarang didapati di pasar malam.\nKepelbagaian dan kemajmukan masyarakat di Malaysia menjadikan Malaysia mempunyai pelbagai variasi makanan warisan dan hal ini merupakan antara faktor kemeriahan bazar Ramadan yang ada di negara kita. Umumnya, makanan warisan merupakan makanan yang dimakan pada masa dahulu dan mewakili nilai tradisional. Berdasarkan Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Aktab 645), makanan warisan terangkum dalam warisan tidak ketara dan secara umumnya makanan warisan merupakan makanan tradisional.\nSetiap negeri mahupun daerah memiliki keunikan makanan tempatan masing-masing dan mencerminkan identiti budaya sesebuah kawasan tersebut. Jadi, setiap bazar Ramadan yang ada adalah tidak sama kerana masing-masing menawarkan pelbagai makanan tradisional yang berbeza-beza berdasarkan kawasan masing-masing.\nMakanan tradisional yang ada di bazar menjadi buruan masyarakat setempat kerana setiap makanan tradisional di negara kita bukan hanya unik dari segi nama semata-mata tetapi juga turut memiliki keistimewaan dari segi penggunaan bahan, peralatan memasak dan kaedah memasak dalam proses pembuatannya.\nBazar Ramadan juga menjadi tumpuan masyarakat kerana ada sesetengah peniaga hanya memilih untuk berniaga sajian mereka hanya di bazar Ramadan sehingga menyebabkan ada yang tertunggu-tunggu bazar Ramadan saban tahun hanya untuk merasai hidangan tersebut. Bukan itu sahaja, pasti akan ada hidangan yang tular dari bazar Ramadan pada setiap tahun terutamanya kuih tradisional yang jarang ditemui bahkan tidak langsung diketahui kewujudannya dalam kalangan masyarakat negara kita.\nKuba Guling atau Kerbau Guling merupakan hidangan yang tular di bazar Ramadan pada tahun 2018. Kuih ini bukan sahaja memiliki nama yang unik tetapi juga mempunyai rasa yang enak sehingga menjadi tarikan setiap kali tibanya bulan Ramadan. Kuih yang berasal dari Thailand dan agak terkenal di wilayah sempadan Kelantan dan Thailand ini sebenarnya dikenali dengan nama Kuih Hitam atau Koleh Hitam yang mempunyai tekstur lembut dan dimakan bersama kelapa parut.\nKuba Guling dibuat berasaskan estrak arang daripada tempurung kelapa yang dibakar pada suhu yang tinggi yang menjadikan warnanya hitam likat dan sangat berbeza berbanding kuih tradisional yang lain. Kuih ini menjadi tular mungkin kerana namanya yang unik dan juga merupakan satu-satunya kuih tradisional yang menggunakan arang berasaskan tempurung kelapa.\nJika di sebelah Pantai Timur, ada kuih tradisi Kuba Guling atau Kerbau Guling yang tular di seluruh negara pada tahun 2018, kuih selak pintu atau pepudak pula yang merupakan kuih tradisi kaum Banjar. Kuih ini yang jarang ditemui dan hanya muncul pada bulan Ramadan dan ketika ada keraian-keraian tertentu sahaja kerana proses pembuatannya yang rumit. Kuih ini yang turut dikenali sunduk lawang dalam bahasa Banjar berbentuk memanjang seperti kayu selak pintu rumah pada zaman dahulu.\nWalaupun terdapat pelbagai kuih moden di negara kita tetapi masyarakat masih merindui kuih tradisional warisan nenek moyang kita. Buktinya, kebanyakan kuih yang tular di bazar Ramadan ialah kuih tradisional.\nSelain kuih tradisional, antara yang ada paling dirindui setiap kali tibanya bulan Ramadan sudah pastilah air katira. Air katira sangat terkenal di negeri selatan tanah air, Johor. Walaupun tidak dapat dipastikan dengan tepat asal usul air ini kerana ada sumber yang menyatakan air katira berasal daripada negara Singapura dan ada pula yang menyebut air ini merupakan minuman kegemaran orang Islam di India Selatan. Air katira yang berwarna hijau ini hanya dijual pada bulan Ramadan sahaja kerana dikatakan pemilik asal resepi air tersebut telah mewasiatkannya sedemikian rupa.\nKeluarga Malaysia pasti merindui keenakan dan kelazatan pelbagai sajian dan hidangan di bazar Ramadan setelah dua tahun tidak dapat menikmatinya. Bukan sahaja keenakan hidangan tersebut yang dirindui tetapi masyarakat juga sebenarnya sangat merindui kemeriahan suasana membeli hidangan berbuka di bazar Ramadan.\nBerkunjung ke bazar Ramadan dan memilih sendiri hidangan yang diinginkan sudah tentunya memberikan kepuasan buat masyarakat. Keunikan yang ada di setiap bazar Ramadan di kawasan yang berbeza-beza sewajarnya dijadikan sebagai antara lokasi tarikan pelancong terutamanya dalam mempromosikan pelbagai sajian dan juadah warisan negara." "Isu Sepanjang Zaman dalam Enam Teater Pendek\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Telah berakhir sebuah pementasan dengan julukan \u201cTeater Kompilasi Vol. 6\u201d anjuran Revolution Stage dan produksi First Time Workshop, yang menghidangkan persembahan kompilasi yang rencam tema pusarannya. Malah, kesemua persembahan pada malam itu dibikin oleh para penggiat drama dan teater yang baharu dan bertenaga kontemporari, latihan Kelas Pengarahan Teater di bawah kelolaan Revolution Stage sendiri.\nEnam buah teater pendek yang dikumpulkan malam itu dipentaskan di Revolution Stage, Petaling Jaya, membawakan konsep kompilasi enam drama pendek, iaitu teater \u201cSos Cili\u201d arahan Firul Amry, \u201cKubur\u201d arahan Azizi Aziz, \u201cSenapas\u201d arahan Sis Aini, \u201cMelihat Setan Bekerja\u201d arahan Aris Ardianto, \u201cThe Distance Between Us\u201d arahan Azizi Nazril dan \u201cMenjelang Takbir\u201d arahan Yana Mat Dan. Masing-masing cerita yang berdurasi 15 ke 20 minit itu membawa penonton ke dalam drama yang rencam konfliknya, dan menikmati persembahan para dramawan dan dramatis di dalam sebuah bilik sempit.\nProjek Bilik Sempit, yang juga dikenali dengan Revolution Stage, adalah sebuah pentas seni persembahan kelolaan dramatis dan pembimbing teater, Khairunazwan Rodzy. Berbeza dengan tradisi pementasan teater, teater yang dipentaskan dalam Revolution Stage dibuat di dalam sebuah ruang kecil. Menyentuh tentang persoalan dan tema yang diangkat dalam keenam-enam cerita pendek itu, Khairunazwan lebih cenderung melihat isu dan permasalahan yang diangkat pada malam pementasan itu adalah isu yang relevan sepanjang zaman.\n\u201cPeralihan zaman yang dibawa dalam setiap cerita, dengan latar drama yang rencam menyentuh masyarakat luar bandar dan masyarakat bandar itu menyentuh pelbagai aspek kita sebagai masyarakat. Menggambarkan isu-isu kritis, relevan dan masih terjadi sehingga ke hari ini,\u201d ujar beliau.\nSetiap satu drama pendek akan berpusar dalam konflik, perbualan, polemik dan pemikiran antara dua watak dan subjek utama, sama ada pasangan suami isteri atau kekasih dalam \u201cSos Cili\u201d, \u201cSenapas\u201d, \u201cDistance Between Us\u201d dan \u201cMenjelang Takbir\u201d, rakan sekerja dan pencari rezeki di dalam \u201cKubur\u201d, mahupun penampilan dua elemen ambiguiti tentang baik dan buruk dalam \u201cMelihat Setan Bekerja\u201d. Setiap drama pendek diarah oleh pengarah yang berbeza.\nSetiap pengarah juga mendapat kebebasan untuk memilih sendiri naskhah drama yang mahu dipentaskan, kerana menurut Khairunazwan, Teater Kompilasi Vol. 6 ini berperanan sebagai kelas pengarahan bagi para pengarah yang terlibat.\nYang paling utama dalam tugas sebagai seorang pengarah teater ialah pemilihan skrip. Bukan cari atau jumpa skrip, tetapi pengarah harus pilih skrip. Manakala syarat utama untuk memilih skrip pula adalah pengarah mesti meminati skrip, dalam elemen yang pengarah harus cari sendiri. Sama ada pada aspek isu, persoalan, konsep, subjek atau mesej.\nDrama pertama, iaitu \u201cSos Cili\u201d adalah sebuah naskhah asal Tony Devaney Morinelli, yang telah diadaptasi kepada bahasa Melayu oleh pengarahnya sendiri, Firul Amry. Azril Suhaili dan Hazirah Norizan tampil sebagai pelakon dalam watak suami isteri yang sedang tersekat dalam takah hubungan yang celaru.\nTeater \u201cKubur\u201d pula adalah adaptasi daripada karya dramatis Wira Manja. Pengarahnya, Azizi Aziz berusaha untuk menggambarkan sifat manusia yang bergembira atas kesusahan orang lain, dengan paparan empat watak lakonan Khal Isyaf, Ron Isa dan Shahrul Skye sebagai penduduk kampung yang menunggu rezeki, dan Qie Rahman sebagai wartawan dari bandar yang juga sedang mencari sumber rezeki. \u201cKubur\u201d juga secara halus bersifat sinis dalam memaparkan perihal keikhlasan dalam kepertanggungjawapan kita sebagai penduduk dalam sebuah masyarakat.\nSeterusnya, penonton dihidangkan dengan sebuah persembahan drama pendek \u201cMelihat Setan Bekerja\u201d karya asal Ridhwan Saidi, yang diarah oleh Aris Ardianto. Melalui \u201cMelihat Setan Bekerja\u201d, penonton secara literalnya sedang melihat bagaimana watak syaitan sedang bekerja. Lakonan Wafiq Qusyairi sebagai manusia yang sedang berdiri di atas pagar godaan syaitan lakonan Sam Zoui, seolah-olah menyantas penonton secara langsung tentang konflik dan iman seorang manusia. Melalui lakonan surreal dua pelakon ini, Aris berjaya memaparkan sebuah cerita yang mengusik isu psikologi, keimanan dan ambiguiti di antara protagonis dan antagonis.\nManakala, \u201cSenapas\u201d pula adalah drama eksperimental karya Khairunazwan sendiri yang diolah semula pengarah Sis Aini untuk menumpukan pada garapan konflik yang didorong melalui babak monolog dan dialog. \u201cSenapas\u201d berdiri sebagai drama eksperimental yang menggunakan perlambangan pertalian hubungan untuk mengangkat isu tabu dalam masyarakat, iaitu anak luar nikah. Melalui kekuatan monolog, Khal Isyaf dan Sara Sulaiman berjaya memenuhi pentas dengan emosi dan harapan.\n\u201cDistance Between Us\u201d, arahan Azizi Aziz, merupakan sebuah drama pendek terbaharu karya Fattah Fauzy. Fattah juga berlakon sebagai suami dalam teater pendek itu. Drama pendek ini mengetengahkan dialog sebagai ruang untuk menjadi ke arah diri yang lebih menjanjikan daripada yang sebelumnya. Melalui drama ini, Fattah cuba memaparkan bagaimana setelah mengenal baik dan buruk, bahana dan bencana, dua orang manusia yang bercinta boleh mengukuhkan lagi hubungan yang sakti itu. Wataknya digalas Fattah sendiri sebagai suami dan Natasha Rafizi pula sebagai isteri.\nPementasan kompilasi itu ditutup dengan \u201cMenjelang Takbir\u201d drama asal Sasterawan Negara Usman Awang, yang telah diolah dan dimantapkan oleh pengarah Yana Mat Dan kepada drama satu babak untuk merumuskan kehidupan masyarakat dalam himpitan ekonomi dan tohmahan sosial sekeliling. Gandingan mantap dua pelakon Qie Rahman dan Sara Sulaiman sekali lagi menjanjikan sebuah drama yang mengikat emosi dan menggambarkan tragedi tohmahan sosial kepada kita sebagai manusia.\nPenulis juga perasan dan menghargai usaha pihak produksi untuk memastikan setiap lopong dan kosong terisi dengan estetika seni persembahan. Di tengah-tengah kekosongan antara setiap drama, dalam transisi setiap drama, produksi menghidangkan penonton dengan sketsa pendek yang melibatkan para pelakon \u201cKompilasi Vol. 6\u201d sendiri, dengan unsur tarian, gerak isyarat disertai permainan warna-warni cahaya dan muzik. Usaha yang mengisi perincian ini memaparkan komitmen Revolution Stage untuk menjanjikan persembahan yang menarik dan memuaskan kepada khalayak penontonnya." "[email\u00a0protected] Bakal Sajikan Pengalaman Buka Puasa Berjemaah di Bandar Kuala Lumpur\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan mengadakan kembali program [email\u00a0protected] 2022, iaitu berbuka puasa secara beramai-ramai pada 16, 17, dan 23 April 2022 bersamaan dengan 14,15 dan 21 Ramadan ini bertempat di Jalan Raja, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.\nProgram ini merupakan hasil anjuran bersama Persatuan Seni Budaya Putra dan rakan-rakan penganjur seperti Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Masjid Jamek Kampong Bharu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kuala Lumpur Food Truck Entrepreneurs Association. Program ini telah diperkenalkan sejak tahun 2012 dan setelah hampir dua tahun dihentikan, kini program ini kembali kepada asal, iaitu berbuka dan solat di atas hamparan tikar dan secara duduk bersila.\n\nProgram berbuka puasa ini dikira istimewa kerana para pengunjung akan berbuka di atas padang dan jalan raya dihiasi pemandangan Bangunan Sultan Abdul Samad yang merupakan satu daripada mercu tanda bandar raya Kuala Lumpur. Selain berbuka puasa bersama, solat Maghrib dan Isyak berjemaah serta solat Tarawih akan turut diadakan. Peluang yang baik bagi para Muslim yang ingin merasai pengalaman solat berbumbungkan langit malam dan berdindingkan tiupan angin semula jadi. Tambahan lagi, terdapat juga jualan trak makanan untuk para pengunjung menikmati pelbagai jenis makanan untuk berbuka di samping bubur lambuk yang akan diagihkan oleh penganjur.\nSelain itu, untuk mengisi waktu para pengunjung dengan perkara yang memberi manfaat pada bulan mulia ini, pihak penganjur juga ada menyediakan aktiviti kerohanian serta persembahan nasyid. Tambahan lagi, orang ramai juga boleh mengambil peluang untuk membayar zakat kerana Kaunter Bayaran Zakat juga akan turut dibuka di [email\u00a0protected] 2022.\nKetua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Tuan Haji Mesran Mohd Yusop berkata, walaupun program ini diuar-uarkan kepada orang ramai secara terbuka, namun bilangan pengunjung adalah terhad dan kemasukan adalah mengikut \u201cfirst come, first serve\u201d demi menjaga kesihatan orang awam ketika berkumpul beramai-ramai.\nSelaras dengan negara yang berada dalam keadaan endemik ketika ini, para pengunjung dinasihati untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, dan sentiasa mencuci tangan serta menjaga kebersihan sepanjang program berlangsung. Pada tahun lalu, program [email\u00a0protected] diadakan secara dalam talian dan \u00a0berjaya menarik lebih 10 ribu pengunjung untuk berbuka puasa bersama-sama secara hibrid. Turut diadakan ketika itu ialah program keagamaan, pertandingan marhaban dan pertandingan nasyid." "Mengekalkan Warisan Tanjak dan Semutar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bertempat di Istana Budaya (IB), agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Zuriat Keturunan Pusaka Bentan Malaysia dan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Warisan Tanah Beradat Negeri Sembilan telah mengadakan Bengkel Membuat Tanjak Kreasi dan Semutar pada 13 dan 14 April 2022.\nBengkel ini telah dihadiri seramai 35 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan Istana Budaya dan juga individu yang berminat serta menghargai seni warisan ini, malah ada peserta yang hadir dari Johor Bahru. Para peserta telah mendapat tunjuk ajar oleh tenaga pakar sebenar yang memang arif dalam selok-belok penghasilan tanjak tradisional dan tanjak kreasi.\nUntuk tujuan itu, dua pertubuhan telah terlibat dalam bengkel ini untuk turut membimbing serta memberikan ceramah kepada para peserta. Kedua-dua orang pembimbing berpengalaman luas dengan warisan ini, iaitu Cikgu Razali Raffiee (penceramah utama) dan Encik Hisham Jaafar (pembantu penceramah).\nMenerusi bengkel ini, peserta diberikan pendedahan dan pengetahuan yang lebih mendalam berkaitan dengan tanjak dan sudah tentu akan menyuburkan rasa cinta untuk mengekalkan pemakaiannya serta tidak berasa kekok mahupun asing apabila diminta untuk membuat tanjak, sama ada untuk acara kebudayaan dan kesenian mahupun dipakai pada bila-bila masa sahaja.\nBengkel ini merupakan satu langkah berterusan yang dilaksanakan oleh Istana Budaya bagi meningkatkan ilmu pengetahuan kakitangan untuk peningkatan kepakaran dalam aspek artistik seni budaya dan seni persembahan bertaraf antarabangsa. Melalui bengkel ini juga, para peserta akan dapat memahami fungsi dan falsafah di sebalik ciptaan tanjak dan semutar sebagai simbolik yang amat besar maknanya khususnya bagi kaum lelaki.\nMenurut Encik Ts. Mohd. Fadzley Abd. Shukor, Pengarah Seni Reka, Istana Budaya, bengkel yang dilaksanakan ini dapat memberikan ruang untuk pertukaran maklumat, pengetahuan dan kepakaran antara peserta dan penceramah.\u00a0 Selain itu, permuafakatan dalam menyokong seni budaya dan penyebaran maklumat berkenaan perkembangan kegiatan kesenian dapat dilaksanakan kepada golongan sasaran iaitu peserta yang terlibat.\nTamat sesi perbengkelan pada hari kedua, Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, budayawan nasionalis dan penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Peradaban Warisan oleh Jabatan Agama Islam Melaka sebagai tetamu kehormat, diiringi oleh Encik Zaifri Husin, Timbalan Ketua Pengarah (Artistik) Istana Budaya telah menyampaikan sijil penghargaan kepada penceramah dan sijil penyertaan kepada para peserta.\nMelalui ucapannya, beliau berharap, generasi hari ini mempunyai minat yang bersungguh-sungguh bagi mempertahankan dan mengekalkan segala warisan yang dimiliki.\nSekiranya hilang warisan ini, maka sudah tidak bermaknalah lagi martabat peradaban. Tanjak dan semutar merupakan simbol kebernasan dan keberanian seorang lelaki, sekiranya pemakaian ini lenyap ditelan zaman, maka bermakna jiwa kepahlawanan serta semangat yang teguh kepada paksi watan terhakis dan turut lenyap.\nTurut hadir dalam perbengkelan dua hari ini ialah Dato\u2019 Haji Nazri Kamal Al-Bentan, Presiden Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Warisan Tanah Beradat Negeri Sembilan dan Persatuan Kebajikan Zuriat Keturunan Pusaka Bentan Malaysia. Pegawai projek bagi bengkel yang dianjurkan ini ialah Encik Raduan Norudin yang juga merupakan Penolong Pengarah Kostum, Bahagian Senireka, Istana Budaya." "Nafas Baharu Suasana di Hari Raya: Hadiah buat Peminat pada Hari Lebaran\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Majlis pelancaran lagu Suasana di Hari Raya Famili Kita telah diadakan pada 15 April 2022 bertempat di Wedding Studio Sdn. Bhd. bagi mengumumkan kepada peminat-peminat seni tanah air berkenaan dengan lagu tersebut berserta tayangan video muzik secara rasmi buat kali pertama.\nLagu tersebut yang merupakan nyanyian asal artis Anuar Zain dan Ellina yang diterbitkan oleh Oja, telah diberikan nafas baharu dengan gabungan pelbagai rentak yang bersesuaian dalam genre yang dibawakan oleh semua artis yang terlibat termasuk Adibah Noor, Shidee, Ani Mayuni, Azan Scan, Bandi Amuk dan ramai lagi.\nProjek lagu raya tersebut merupakan satu hadiah tanda penghargaan kepada para peminat yang telah memberi sokongan tanpa henti kepada kerjaya anak seni tanah air.\nRamai antara mereka yang kehilangan sumber pendapatan dek penularan COVID-19 yang telah memberikan impak kepada ekonomi seluruh dunia. Namun begitu, para peminat tidak putus-putus menyokong dan menghulurkan bantuan dalam perniagaan mereka supaya mereka tidak terkesan berat dengan pandemik itu.\nShidee yang dianggap paling senior dalam kalangan artis yang menjayakan lagu Suasana di Hari Raya Famili Kita berkata, kesempatan itu akan menjadi sebuah memori yang indah dan akan dikenang sepanjang karier beliau kerana berpeluang untuk menyanyikan sebuah lagu raya kegemaran rakyat Malaysia bersama rakan-rakan artis yang terdiri dari pelbagai lapisan umur.\nIdea untuk mengolah lagu ini telah dicetuskan oleh Ani Maiyuni dalam perbualan kosong bersama Azan Scan dan kini perkara tersebut menjadi kenyataan apabila sejumlah 16 orang artis bergabung untuk menyampaikan lagu ini. Selain artis tempatan, penyanyi dari negara jiran, Upiak Isil turut diajak untuk menjayakan projek lagu raya ini. Hasilnya, proses rakaman lagu dan video telah dibuat sepenuhnya oleh Upiak di Jakarta sebelum dihantar secara dalam talian ke Malaysia bagi proses suntingan dan master.\nLagu berdurasi empat minit yang disampaikan oleh gabungan artis yang menggelarkan diri mereka \u201cFamili Kita\u201d telah menjalani penggambaran di sebuah inap desa yang berkonsepkan ekopelancongan di 1858, Semungkis di Hulu Langat, Selangor. Berlatarbelakangkan suasana desa, video muzik ini mengisahkan kemeriahan sebuah keluarga yang membuat persiapan menyambut lebaran diselitkan dengan pelbagai aksi lucu yang bakal membuat Hari Raya Aidilfitri para penonton lebih ceria.\nBerkongsi pengalaman ketika penggambaran video muzik dijalankan, Nico G. berkata, suasana hari tersebut seolah-olah hari raya sebenar kerana setelah lama mereka tidak bersua muka, akhirnya mereka berkumpul untuk menjayakan projek istimewa ini.\nArtis lain yang terlibat dalam menjayakan projek ini ialah Aliff Aziz, Aweera, Saiful Apek, Yassin, Nikki Palikat dan Suki Low. Lagu ini telah mula diedarkan pada 8 April lalu sudah boleh dinikmati di semua medium muzik digital manakala video muzik boleh ditonton di platform YouTube di pautan ini." "Zoom Kartun Semarakkan Ramadan yang Mulia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Industri komik di Malaysia antara yang turut terkesan akibat pandemik COVID-19 yang lalu. Tempoh dua tahun ini memberikan pelbagai pengalaman bagaimana iltizam penggiat bidang ini bertahan dan terus dapat kembali meraikan pengetahuan daripada pelbagai sudut kebudayaan menerusi bahan bacaan komik. Walaupun tidak sehebat khalayak pembaca genre kreatif novel dan antologi yang lainnya, komik tetap menghargai pengikut setianya. Karya-karya baharu tetap diusahakan untuk diterbitkan walaupun berdepan dengan banyak halangan.\nBertempat di KL Getaway Mall, Kerinchi, Kuala Lumpur, akan berlangsung satu program bagi menyemarakkan kembali industri kartun dan komik dengan menganjurkan program Zoom Kartun Ramadan\u00a0 bersempena dengan April Bulan Kartunis Malaysia (April Toon).\n\nMenurut Presiden ANIMASI, Encik Amir Hamzah, objektif mengadakan program ini adalah untuk melahirkan generasi artis yang berbudaya dan tidak melupakan seni warisan Malaysia menggunakan medium kartun dan komik dan yang paling penting merealisasikan moto Komik Biz Studio, sebuah portal komik yang dibangunkan oleh Pengasas Komik Biz, iaitu \u201cBersatu Sebarkan Manfaat\u201d.\nSelain itu, misi yang hendak dicapai melalui usaha ini adalah untuk mendidik masyarakat supaya kembali menyukai seni Malaysia.\nPaling penting, ujarnya lagi, adalah untuk memberikan aspirasi dan inspirasi dalam bentuk seni baharu supaya menjadi penetapan trend (trendsetting) serta memberi peluang kepada pengkarya bertapak dan menyebarluaskan ilham dalam bentuk produk lain selain komik supaya lebih berdaya saing.\nTurut membahu bersama ialah Pengasas Komik Biz dan juga Pengarah Majalah Etudea, Encik Mohd. Fikri Azman,\u00a0 berharap menerusi kolaborasi menjayakan program ini akan dapat mencapai visi menjadi organisasi yang pertama dalam bidang penerbitan karya kartun dan komik serta penulisan yang mempromosikan khazanah seni warisan Malaysia menerusi persembahan karya artis dan membudayakan seni Malaysia dalam bentuk yang lebih moden dan terkini menjelang tahun 2025.\nOrang ramai diundang hadir memeriahkan program ini dengan mendapatkan maklumat daripada poster yang dikongsikan ini; atau hubungi urus setia melalui talian 013-6325728/03-77731160; atau e-mel [email\u00a0protected] serta boleh melayari laman web komikbiz.com.\nYang akan turut hadir dalam karnival dua hari ini ialah pasukan elit pekomik Biz Studio dan pelbagai aktiviti turut diadakan. Pastikan anda tidak ketinggalan menjayakan program dua hari ini." "Hikmah Berpuasa 19 Jam di Bristol, United Kingdom\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBerpuasa di Bristol, United Kingdom membuatkan Dr. Saidatul Nurul Hidayah Jannatun Naim Nor Ahmad menyelami hikmah Ramadan sebenar agar lebih menghargai segala nikmat sebagai seorang Muslim di Malaysia yang selesa dan bebas menjalankan\u00a0ibadah dengan baik dan tenang.\nIbadah puasa pada bulan Ramadan yang mulia sememangnya dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia. Jika di Malaysia, majoriti penduduknya beragama Islam, jadi tidak hairanlah bulan yang mulia itu meriah dengan sembahyang tarawih, bazar Ramadan dan Aidilfitri, majlis buka puasa, moreh, tadarus al-Quran dan qiamullail di masjid.\nNamun begitu, bagi Pensyarah Kanan dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) itu, pengalaman berpuasa di perantauan ternyata jauh berbeza dirasakan apabila menjejakkan kaki buat pertama kali di bumi Bristol itu pada tahun 2015.\nMenurutnya, dia perlu berpuasa jauh lebih lama kerana kebetulan bulan Ramadan jatuh pada musim panas yang mana waktu siang lebih panjang daripada waktu malam yang menyebabkan dia dan suami mula bersahur sebelum pukul 2.00 pagi dan berbuka pada pukul 9.00 malam, iaitu lebih kurang 19 jam sehari secara keseluruhannya.\n\u201cUnited Kingdom merupakan antara negara yang panjang waktu berpuasa di Eropah, selain Sepanyol dan Turki di belakang Iceland dengan waktu berpuasa 21 jam. Walaupun waktu berpuasa begitu panjang, aktiviti harian tetap berjalan seperti biasa,\u201c katanya.\n\u201cSaya masih akan berjalan kaki ke kampus yang terletak 20 minit dari kediaman pada setiap hari memandangkan kami tiada kenderaan di sana serta menaiki bas sekiranya perjalanan agak jauh,\u201d katanya.\nDr. Saidatul berkata, Bristol merupakan bandar yang agak berbukit dan menjadi satu cabaran apabila dia perlu melalui jalan berbukit dalam cuaca sejuk tanpa makan dan minum.\nMenurutnya, sepanjang Ramadan di luar negara, dia banyak belajar memasak sendiri, tambahan pula kos hidup di negara orang itu sangat tinggi, selain pilihan makanan halal yang terhad.\nMengenang kenangan bertarawih, Dr. Saidatul berkata, \u201cdi Malaysia, umat Islam akan berjemaah menunaikan solat tarawih tetapi berbeza di Bristol apabila mereka hanya mendirikan solat di rumah masing-masing sahaja kerana masjid terletak jauh dari kediaman.\u201c\n\u201cBukan itu sahaja, risiko keluar malam di Bristol agak tinggi dan berbahaya kerana selepas pukul 7.00 malam selalunya penduduk tempatan akan mula mengunjungi kelab malam dan pelbagai kemungkinan seperti gangguan mahupun jenayah boleh berlaku.\u201c\n\u201cSaat itu, kami terkenang desa tercinta, suasana hening dan peluang beribadah di masjid, rindu kuliah Maghrib, malah rindu suara azan yang sungguh indah sebagai halwa telinga. Benarlah kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri lebih baik,\u201d katanya.\nDengan pengalaman yang tidak ternilai harganya ini, banyak pengajaran yang dipelajari dan itulah hikmahnya merantau agar kita lebih menghargai dan menyayangi asal usul kita.\nMenurutnya, dia sedar akan hikmah setiap kejadian-Nya termasuk berpuasa di negara empat musim yang mengingatkan betapa Allah SWT itu Maha Adil kerana walaupun terpaksa berpuasa selama 19 jam, namun tidak terasa terlalu lapar mahupun dahaga kerana cuaca yang sejuk dan dingin." "Bahasa dalam Novel Terawal di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHikayat Panglima Nikosa (HPN), karya Ahmad Shawal Abdul Hamid, yang diterbitkan pada tahun 1876 di Kuching, Sarawak, telah ditemui tersimpan di Rhodes House Library, Oxford, pada tahun 1981.\nNovel yang berusia 145 tahun itu diterbitkan pada zaman pemerintahan Charles Brooke, enam tahun selepas Sarawak Gazette diterbitkan. Novel berkenaan telah diteliti dari pelbagai aspek tetapi belum terdapat kupasan yang mendalam dari sudut bahasa.\nNaskhah simpanan Sir Hugh Low, yang pernah berkhidmat di bawah James Brooke, sebelum menjadi Residen Perak pada tahun 1877 itu mengisahkan tentang watak seorang pemuda yang bernama Nikosa, yang telah diminta oleh ayahnya untuk membantu mempertahankan dan mengamankan \u201cnegeri di sebelah timur\u201d daripada serangan pihak musuh.\nKarya ini bagi banyak sarjana membawa pembaharuan dari pelbagai segi dari segi persoalan atau tema, plot, perwatakan dan latar cerita. Sebagai novel Melayu pertama di negara ini, karya ini tentulah menggambarkan realiti dan semangat zaman yang menarik untuk dicerakin.\nApakah keistimewaan HPN dari segi bahasa? Adakah karya yang memaparkan ideologi pembaharuan dari segi pertanian, pendidikan, perancangan ekonomi, dan\u00a0 perumahan itu menarik dari segi bahasa? Sejauh manakah bahasa sezaman diserlahkan dalam novel itu?\nSeperti novel sezaman yang lain, hikayat ini dimulakan dengan ungkapan lazim: \u201cAlkisah, maka adalah diceterakan oleh orang yang empunya cetera ini, maka adalah pada zaman ini di dalam negeri yang di sebelah timur.\u201d Alkisah yang biasa digunakan dalam hikayat atau tulisan pada zaman dahulu bermaksud menurut ceritanya.\nHakikatnya, HPN tidak dapat lari daripada perkataan dan ungkapan klasik yang sudah menjadi kelaziman dan konvensi dalam karya yang berusia lebih seabad. Perkataan yang bersifat klasik berfungsi sebagai penghias, penyedap atau pemula ayat. Ciri-ciri bahasa sedemikian selalu ditemui dalam naskhah hikayat Melayu lama.\nDaripada pemerhatian dalam teks ini, pengarangnya yang juga jurutulis Kerajaan Brooke, gemar menggunakan ayat yang panjang-panjang tetapi tidaklah sampai menyulitkan pembacaan.\nDari segi struktur ayat, Ahmad Shawal masih lagi tidak membawa apa-apa pembaharuan. Sebagai karya pada peringkat awal, sama seperti karya Abdullah Munshi dalam Hikayat Abdullah, pengarang novel ini masih tidak dapat lari daripada penggunaan kata asli dalam tulisannya. Bukan sahaja bahasa yang digunakan itu bahasa lama tetapi struktur ayatnya juga masih dipengaruhi oleh bahasa hikayat.\nPenggunaan kata-kata asli seperti maka, hatta dan arakian sering digunakan. Kata \u201cmaka\u201d digunakan daripada ayat pertama hinggalah kepada ayat terakhir dalam novel ini yang seolah-olah bertindak sebagai anafora. Dalam ayat pertama sahaja terdapat empat kali penggunaannya, manakala dalam dua perenggan terakhir terdapat lapan kali penggunaan perkataan yang bermaksud lalu, dan selepas itu.\nDalam seluruh teks terdapat 127 kali \u201cmaka\u201d yang digunakan, menandakan bahawa unsur bahasa klasik dan lama begitu mempengaruhi pengarang. Selain maka, penanda wacana pemula lain yang digunakan ialah demikianlah, akan tetapi, setelah itu, hatta, pada tatkala itu, sekali peristiwa pada suatu hari, kemudian, demikianlah,\u00a0 telah selesailah dan arakian.\nTernyata, pengarang yang berasal dari Sumatera ini belum dapat membebaskan secara total pengaruh tersebut. Contoh penggunaan kata-kata penghias ini dalam ayat klasik HPN berfungsi sebagai penanda wacana untuk menyatakan episod atau peristiwa yang telah berlalu dan akan berlaku, sekali gus memperlihatkan perubahan dalam pergerakan cerita atau peristiwa.\nSeperkara yang menarik, laras bahasa istana turut digunakan, membayangkan darjat pengguna atau watak seperti beta. Dalam hierarki masyarakat yang dipaparkan, terdapat golongan rakyat biasa, menteri dan pemerintah. Terdapat juga \u201corang tua-tua, orang kecil-kecil atau orang kebanyakan dan \u201cyang hina\u201d. Dengan cara itu, dapat memperlihatkan susun lapis sosial dalam masyarakat pada ketika itu. Pengarang menyesuaikan penggunaan kata ganti nama yang sesuai apabila watak berbicara.\nYang turut dikesan dalam novel ini ialah penggunaan dialek tempatan seperti lepak, merakit, uma, mulong, buak angkalak, sepasuk padi, sepasuk biji mulong dan diringga. Namun begitu, perkataan arkaik\u00a0 atau kuno termasuklah dialek Melayu Sarawak seperti adang dan diringga sudah tidak lagi digunakan pada hari ini.\nTerdapat juga pengaruh bahasa daripada kaum Iban dalam HPN sebagaimana dibuktikan daripada kehadiran perkataan \u201cmengayau\u201d, yang bermaksud amalan\u00a0 membunuh musuh pada zaman dahulu kala untuk diambil kepalanya bagi menunjukkan kepahlawanan seseorang atau untuk upacara ritual dalam masyarakat Dayak.\nBagi saya, selain daripada memperlihatkan penggunaan dialek tempatan, kehadiran unsur tersebut juga membuktikan bahawa novel ini memaparkan latar tempatan. Mancawarna tempatan dikentalkan dengan kehadiran unsur tersebut, apatah lagi dengan adanya kehadiran flora berkaitan yang turut terdapat di Sarawak.\nTidak dapat disangkal bahawa HPN juga menunjukkan adanya ciri pengaruh bahasa Melanau, khususnya yang berkaitan dengan tanaman rumbia yang lebih dikenali sebagai mulong dan kehadiran perkataan seperti lemantak. Sarawak terkenal dengan pengeluaran sagu. Perusahaan sagu sejak awal abad ke-19 merupakan nadi ekonomi masyarakat terutamanya masyarakat Melanau.\nSatu titik tolak penting dalam perniagaan lemantak berlaku apabila Singapura mengimport produk tersebut pada awal abad ke-19. Kesudahannya, banyak kilang sagu didirikan oleh pemodal Cina di Singapura. Terdapat nama Jalan Sagu dan Lorong Sagu di Singapura, bersempena dengan kegiatan memproses sagu di kawasan terbabit mulai tahun 1840.\nPada tahun 1850-an, terdapat 30 kilang sagu dengan pengeluaran 8000 tan setahun daripada kilang-kilang di kawasan itu. Pada tahun 1877, Mukah dan Oya menyumbang sebanyak 36 peratus daripada keseluruhan jumlah sagu yang dieksport dari Sarawak, sebelum meningkat kepada 88 peratus pada tahun 1885.\nNovel ini seperti novel pada zaman moden turut memperlihatkan percubaan pengarang untuk menerokai sempadan kemungkinan bahasa dari segi aspek jalinan penulisan. Meskipun demikian, penerokaan dan percubaan itu masih lagi pada tahap minimum terutamanya jika ditinjau dari sudut teori retorik atau stilistik mengikut ukuran pada hari ini. Setidak-tidaknya, adanya usaha pengarang untuk menimbulkan kesan tertentu melalui wacana atau teks yang dikarangnya. Hal ini demikian kerana unsur stilistik lain seperti metafora kelihatan tidak digunakan.\nBagi saya, yang menarik ialah bagaimana dalam percubaannya untuk menimbulkan kesan kental terhadap perkara yang digambarkan, pengarang cenderung untuk melebih-lebihkan gambarannya dengan menggunakan ungkapan tertentu yang bersifat hiperbolik atau berlebih-lebihan.\nDi banyak tempat dalam teks ini, terdapat unsur yang melebih-lebihkan gambaran sama ada dari segi emosi, keadaan dan sebagainya. Hal ini dibuktikan daripada penggunaan frasa seperti \u201cterlalulah sangat ketakutan dan bimbang hatinya tiadalah tentu bekerja di luar rumah\u201d. Hal ini bagi melukiskan perasaan ayah Nikosa disebabkan oleh kehadiran musuh.\nAyat yang berikut turut mengukuhkan kenyataan ini, \u201cDan lagi, sekalian orang-orang perempuan dan anak-anak kecil berteriak-teriak di dalam tidurnya sebab di dalam tidurnya adalah termimpi-mimpi musuh datang hendak melanggar rumah\u201d. Ungkapan lain pula termasuklah \u201cterlalulah suka serta asyik mendengar\u201d, \u201cceteranya\u201d, \u201corang kecil-kecil yang hina, sedangkan orang yang tua-tua lagi tercengang-cengang\u201d dan \u201cterlalulah susah, terlalulah sakit\u201d.\nAyat \u201cmaka ia pun menarik nafas baru, terlalulah panjang sampai kedengaran\u00a0 hendak terbelah dua dan air matanya pun melelehlah sebagai hujan gugur dari langit,\u201d serta \u201cmukanya gilang-gemilang dan nafsunya pun seperti baru bertumbuh\u201d, \u201criuh-rendah bunyinya melanggar musuh yang sampai banyaknya beribu-ribu tubuhnya\u201d, dan \u201chati Nikosa pun terlalulah naik besar seperti bulan waktu purnama\u201d pula menunjukkan adanya unsur hiperbola.\nPengarang juga banyak menggunakan ungkapan \u201cterlalulah\u201d untuk menggambarkan kadar kesangatan. Hiperbola ialah satu jenis gaya bahasa yang mengandung kata, frasa, ataupun kalimat yang berlebih-lebihan, baik dari sifatnya, ukurannya mahupun jumlahnya ketika pengarang menggambarkan sesuatu dengan maksud untuk menimbulkan kesan yang lebih bertenaga.\nDisedari atau tidak, unsur hiperbola itu disertakan dengan unsur simile dengan kehadiran ungkapan \u201cmelelehlah sebagai hujan turun dari langit\u201d. Di tempat lain, apabila memerihalkan keadaan rupa Pilina yang hidup susah dan miskin kerana menanggung beban hutang sehingga hidupnya susah, pengarang melukiskan sebegini: \u201c.rupanya dan pakaiannya pun tiadalah sempurna serta tubuhnya pun nipis seperti orang tiada makan dan minum sepuluh hari\u201d bagi menggambarkan keadaan fizikal watak berkenaan.\nUnsur simile juga digunakan \u201cseperti lelah orang bertugal air\u201d. Gambarannya berlebihan kerana unsur hiperbola yang ditambah dengan unsur simile bagi menimbulkan kesan melampau.\nJelaslah, pengarang sedar bahawa penggunaan unsur bahasa tersebut adalah untuk menekan, memperhebat, mahupun memberikan kesan yang berlebihan terhadap pelukisannya dalam teks dan wacana yang dihadirkan.\nSelain simile, simpulan bahasa yang biasa digunakan dalam kalangan masyarakat Melayu Sarawak turut digunakan seperti \u201cangkat-angkat bujang\u201d yang bermaksud umur akil baligh dan \u201cmenaruh hati yang murah kepada orang semuanya\u201d yang bermaksud suka memberikan bantuan atau pertolongan.\nNovel ini turut memperlihatkan keunikannya dari segi persoalan dan pemikiran, selain daripada cubaan pengarang untuk memanipulasikan unsur bahasa. Meskipun ditulis hampir 150 tahun lalu, tidak syak lagi bahawa pengarang sedar akan perlunya unsur bahasa sastera dianyam ke dalam teks berkenaan.\nDengan cara itu, pengarang cuba menerokai sempadan kemungkinan bahasa dengan mengeksploitasikan pelbagai unsur bahasa sastera dengan daya imaginasi, kreativiti dan kemahirannya sebagai guru bahasa pada zaman pemerintahan Brooke. Kehadiran unsur jalinan penulisan dan retorik dan stilistik tertentu dalam teks berkenaan membantu untuk meningkatkan nilai keindahan bahasa dan sastera dalam novel bersejarah itu.\n\u00a0\n\u00a0\nDr. Jeniri Amir \u2212 Pengamat bahasa dan penganalisis politik yang merupakan Felow Kanan Majlis Profesor Negara." "Meneliti Warisan Sihat dan Cantik (Bhg. 3)\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPerkongsian berkaitan dengan ilmu tradisional alam Melayu khususnya merujuk naskhah perubatan Melayu amat menarik untuk diteliti. Dengan itu, kita memahami bagaimana generasi terdahulu menyelidiki, membuat uji kaji dan seterusnya berhasil memformulasikan rawatan ataupun penawar kepada sesuatu penyakit. Paling mengujakan apabila sesuatu penyakit itu dihubungkaitkan pula dengan unsur alam seperti tanah, air, api dan angin.\nPenulisan bahagian ketiga ini akan meneliti kandungan rahsia sihat dan cantik berdasarkan perkongsian Profesor Pengajian Islam dan Manuskrip Melayu, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr. Muhammad Mustaqim Mohd. Zarif.\nSebelum itu, masihkah para pembaca mengingati doa ketika melihat cermin?\nDoa tersebut bermaksud, \u2018Ya Allah sebagaimana Engkau telah cantikkan kejadianku (rupaku), maka cantikkanlah juga akhlakku.\u2019\nDaripada doa yang dikongsikan ini fahamlah kita bahawa secara holistik, pakej cantik kejadian di sini ialah sihat dan cantik tubuh badan akan menyerlah pula kepada keseluruhan penampilan seseorang yang ditunjangkan dengan akhlaknya. Akhlak ini sudah tentu pula bersandar pada tingkah laku dan tutur kata seseorang yang mencerminkan akal budi serta santun bahasanya kepada orang lain dan masyarakatnya.\nMengamati doa ini kemudian dihubungkan dengan perkongsian Profesor Dr. Muhammad Mustaqim memang sangat menarik, kerana berdasarkan kajian beliau, generasi Melayu terdahulu sudah melaksanakan pengintegrasian ilmu.\nIlmu yang meliputi pakej yang lengkap untuk melahirkan individu yang sempurna kerana bagi generasi terdahulu yang berpaksikan tauhid, Nabi Muhammad SAW ialah suri tauladan yang terunggul. Oleh hal yang demikian, pemindahan ilmu zaman silam telah pun berlaku dengan pesat apatah lagi dengan adanya pengaruh Islam pada abad 1300M.\nIlmu-ilmu ini sudah tentu berpaksikan ajaran al-Quran dan sunah, dan hikmahnya walaupun al-Quran satu-satunya memiliki mukjizat yang dipelihara oleh Allah SWT sehingga dunia ini menuju titik noktahnya, manuskrip-manuskrip Melayu ini seolah-olah diizinkan oleh-Nya jua untuk hidup dan mengiringi kitab suci ini. Simboliknya, daripada tubuh yang sihat ini, manusia alam Melayu ini akan dapat menghidupkan ilmu-ilmu daripada kitab suci ini kelak.\nPersoalannya, bagaimanakah manusia alam Melayu mendapat ilham merawat penyakit yang dihidapinya? Profesor Dr. Muhammad Mustaqim mengatakan semuanya berlaku daripada interaksi generasi terdahulu dengan alam. Dikatakan, ketika itu ditemui seekor ibu burung yang berjaya merawat kaki anaknya yang sengaja dipatahkan beberapa kali oleh manusia kerana ingin melihat apakah yang akan dilakukan oleh ibu burung ini untuk merawat kaki anaknya yang dipatahkan itu, dan dengan menggunakan daun rusuk kerbau dan daun lemiding, ibu burung ini berjaya merawat kaki anaknya yang patah.\nKisah ibu burung ini seolah-olah terhubung pula dengan kisah Qabil, anak Nabi Adam yang buntu kerana terkorbannya Habil, yang akhirnya ditunjukkan Allah dengan perilaku seekor burung yang menimbus seekor lagi burung yang telah mati. Burung juga menjadi petunjuk ilmu perubatan di alam Melayu ini semasa bermula dan terus berkembang.\nSejak itu, dikatakan ilmu perubatan ini terus berkembang dan hingga kini manuskrip-manuskrip ilmu Alam Melayu ini tersimpan dan dijaga rapi bak menjaga \u201csang puteri\u201d di Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Manuskrip ini terpelihara dan dilindungi dengan sepenuh hati.\nYang menariknya, menurut Profesor Dr. Muhammad Mustaqim, ilmu-ilmu perubatan Alam Melayu ini meliputi unsur roh dan jasad. Walaupun dilatari unsur animisme kemudian Hindu dan Hindu-Buddha, dan akhirnya Islam, pengaruh ini melatari budaya keilmuan perubatan Melayu.\nDaripada sejarah dan unsur budaya ini jelaslah apa-apa yang dikongsikan oleh Profesor Dr. Muhammad Mustaqim, iaitu generasi alam Melayu yang memiliki ilmu perubatan ini turut melakukan adaptasi, penyesuaian, pembersihan dan mengalami juga reformasi kepada amalan perubatan tertentu dan proses ini sentiasa berterusan bagi mengekalkan amalan perubatan ini dari generasi ke generasi dan kemudian terakam melalui naskhah perubatan Melayu, iaitu \u201cKitab Tib\u201c.\nBerdasarkan kajian beliau juga bahawa perubatan yang dimaksudkan di alam Melayu ini ialah ilmu dan seni yang berkaitan dengan pemeliharaan kesihatan dan pencegahan, pengurangan dan penyembuhan penyakit. Kemudian ilmu ini dipanggil dengan beberapa nama antaranya ilmu tib, ilmu tabib, perdukunan, perbomohan, perubatan, mujarrabat, paubatan, usada dan lain-lain.\nKemudian pengamal perubatan Alam Melayu ini serasi dengan istilah tib dan dilihat paling sesuai, menyeluruh dan lebih menggambarkan penghasilan, perkembangan dan kemajuan serta pengamalan ilmu dalam konteks masyarakat Melayu.\nTanpa diketahui umum bahawa para tabib dan dukun ini sebenarnya mempraktikkan perubatan yang bersifat ilmiah dan amat ketara sistematiknya kerana ditemukan kaedah, terdapat istilah dan pendekatan yang mantap dan tetap daripada \u201cKitab Tib\u201c ini.\nIlmu perubatan ini diberikan perspektif perubatan tradisional berbanding sains moden. Inilah istimewanya \u201cKitab Tib\u201c Melayu kerana hubungan roh dan jasad itu terikat dengan kukuh untuk melahirkan sihat yang holistik.\nUniknya ilmu tib Melayu ini menampilkan variasi dan trend (aliran) tertentu. \u201cIlmu ini juga menekankan keseimbangan rohani dan jasmani,\u201d ujar Profesor Dr. Muhammad Mustaqim lagi. Malah yang paling tekal perjuangan aliran perubatan ini sejak beratus-ratus tahun lampau ialah wujudnya pertallian erat antara perubatan dengan hikmat, iaitu berlandaskan norma Islam yang beriktikad menyerah diri kepada Yang Maha Kuasa, iaitu tawakal, manakala adaptasi unsur pra-Islam yang masih diwarisi oleh pengamal perubatan tradisional menerusi ilmu tib ini termasuklah mantera, jampi, simbolisme haiwan mistik seperti naga, dewa/batara guru dan lain-lain.\nDaripada perkongsian ini jelas hikmah yang ditanamkan oleh ilmu tib Melayu iaitu memahami bahawa segala penyakit yang dialami oleh seseorang itu didatangkan oleh Allah SWT, oleh hal yang demikian, perawatan yang dilakukan cumalah sebahagian usaha yang dilakukan oleh pengamal ilmu ini dan selebihnya kuasa daripada-Nya jualah yang menyembuhkan atau mengurangkan sesuatu penyakit." "Teater \u201cLangit Perang di Tanah Air\u201d daripada Khairunazwan buat Rakyat Bangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Baru-baru ini, teater \u201cLangit Perang di Tanah Air\u201d karya dan arahan Khairunazwan Rodzy dipentaskan buat lima malam, bermula pada 15 April 2022 hingga 19 April 2022 yang berlangsung di studio Revolution Stage, Petaling Jaya.\n\n\u201cLangit Perang di Tanah Air\u201d bukan sahaja berdiri sebagai sebuah naskhah yang memaparkan nasib keluarga dalam kekangan kemampuan mereka untuk memilih keputusan, tetapi juga buat pengamatan dan penonton dalam nasib mereka sebagai rakyat dalam sesebuah negara. Bagaimana gelagat pemimpin sebuah masyarakat yang akan berpaling terhadap masyarakatnya apabila mereka ditimpa gejolak? Khairunazwan menggarap sebuah alegori pendek tentang sifat egoistik oleh para pemimpin \u201cyang bertanggungjawab\u201d.\nGarapan Khairunazwan dalam drama \u2018Langit Perang di Tanah Air\u2019 memaparkan suara-suara yang terkurung dalam pekung rakyat, dengan menggunakan watak adik-beradik yang lapan sebagai alegori cerita masyarakat negara yang berbilang fikiran, persetujuan dan masalah.\nJelas bagaimana pengarang bermain dengan alegori itu apabila setiap watak adik-beradik yang lapan itu mempunyai masalah yang pelbagai dan latar hidup yang berbeza-beza. Mereka dilihat sebagai adik-beradik yang mempunyai konflik seteguh batu, namun terpaksa untuk bersatu sementelah masing-masing terperangkap dalam tragedi. Seperti idea yang berbunyi tragedi itu menyatukan manusia.\nMalah dilihat juga melalui sembilan watak utama dalam drama ini, mereka ialah wakil bagi setiap lapisan masyarakat sesebuah negara; tidak kira negara apa, seperti ahli korporat, wartawan, seniman, \u201cmat rempit\u201d malah suami dan isteri, bahagia ataupun sebaliknya, itu semua adalah masyarakat yang dipaparkan melalui hubungan adik-beradik ini.\nDengan konflik yang tersendiri dan tidak sentiasa bersekedudukan antara satu dengan lain, mereka menemui titik temu antara mereka apabila sebuah bencana; seperti perang, menimpa mereka yang menyaksikan nasi telah menjadi bubur.\nDalam drama ini, Malaysia sudah mencapai tahun 2030. Bagaikan mimpi, langit Malaysia pada malam Hari Raya Aidilfitri (sesuai dengan pementasannya pada bulan puasa) tahun itu berwarna perang. Sekelip mata sebuah negara yang aman dilanda bencana perang, dilihat melalui lensa lapan orang adik-beradik yang telah berpecah-belah hubungan sesama mereka. Dalam gemelut perang yang mencemaskan, masing-masing berusaha untuk pulang ke rangkulan keluarga yang tercinta.\nWalaupun dalam keadaan krisis, ketua-ketua negara pula dipaparkan sebagai pihak yang leka dan tidak kompeten, sekali gus melalaikan mereka untuk bertindak menyelamatkan rakyat sedangkan rakyat tiada kerja campur tangan dalam urusan peperangan dari awal lagi.\nKhairunazwan menggarapkan babak-babak kabut dan mencemaskan yang bermain secara parallel, dan menarik penonton untuk menjelajah ke dalam cerita dengan lebih naik-turun emosi. Seperti yang dibuat dalam naskhah \u201cMuzikal Sudirmania\u201d, unsur babak yang memotong-motong dan mencemaskan penonton itu lebih lantang sebagai pendorong cerita.\nDari sudut pandang Thia, kepada sudut pandang Angah, kepada sudut pandang Anjang malah sudut pandang Perdana Menteri (yang perlahan dipaparkan sebagai antagonis), Khairunazwan dan para dramawan berhasil mementaskan pementasan yang mapan naratifnya, kemas garapannya.\nSetiap karyawan mempunyai matlamat masing-masing dalam menukang karya. Matlamat yang menjadi sasaran utama seorang karyawan adalah mencari kebenaran atau keadilan buat masyarakatnya.\nPada hakikatnya, tiada siapa-siapa yang sempurna dalam menggalas peranan seorang manusia, mahupun seorang pengkarya yang berkarya untuk menyuarakan keadilan. Namun begitu, dalam ketidaksempurnaan itu, kita masih cuba untuk menegakkan keadilan, kerana itulah yang memanusiakan kita. Penulis drama \u201cLangit Perang di Tanah Air\u201d cuba untuk mengetengahkan isu keadilan yang dikeluarkan daripada suara-suara rakyat dalam gelombang krisis ciptaan penulis.\nKekuatan yang dapat dilihat dan diyakini oleh para penonton dalam pementasan teater ini ialah elemen transisi yang dikemaskan oleh para dramawan. Antara setiap babak dan adegan, perubahan nuansanya lebih meyakinkan. Juga jika dilihat pada penyusunan tata cahaya, siluet dan warna yang dipancarkan pada wajah Perdana Menteri dan Thia ketika harapan semakin memudar dan bayang cahaya langit berwarna perang.\nMenampilkan sekumpulan pelakon teater baharu, pementasan ini adalah pementasan pertama mereka sebagai sebuah kumpulan kepada khalayak awam. Baihaq Majid, Azri Khair, Jihaa Sham, Fatin Q, Izzat Syahmi, Iz Rafdhy, Arissa Rahim, Jeremy Bong tampil sebagai pelakon dengan persembahan yang kuat dan menjanjikan, dan Faiq Irfan dan Khal Isyaf sebagai dramawan yang makin ramah dalam ranah teater pula semakin berani dalam mengangkat watak-watak yang mencabar.\nPementasan teater \u201cLangit Perang di Tanah Air\u201d kali ini merupakan pementasan kedua bagi naskhah itu oleh dramawan Revolution Stage. Memandangkan ini ialah naskhah dramatis yang sudah mapan kepengarangannya, malah dengan beliau juga berdiri sebagai pengarah, dari sisi penceritaan itu sahaja sudah cukup meyakinkan khalayak yang mereka akan menonton sebuah teater yang menjanjikan kepuasan.\nNamun demikian, pementasan kali ini memaparkan kekuatan para pelakon yang akan menyambung jalur pelakon teater tanah air. Walaupun ini adalah persembahan pertama mereka secara satu kumpulan kepada khalayak awam, persembahan mereka tetap menyuntik emosi; memberikan lambang harapan bahawa semangat prodigi pelakon teater tempatan masih kuat dan semakin terang masa hadapannya." "Jerayawara Tourism Malaysia di India\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Setelah dua tahun Malaysia menutup sempadan akibat pandemik COVID-19, akhirnya pada tanggal 1 April 2022, Malaysia kembali menerima kehadiran \u201ctetamu\u201d, iaitu pelancong dari negara asing untuk menikmati keindahan negara ini.\nBagi meningkatkan lagi kedatangan pelancong dari India, khususnya, Tourism Malaysia telah menganjurkan \u201cJerayawara di India\u201d pada 18 April hingga 30 April 2022. Malaysia Tourism Promotion Board atau lebih dikenali sebagai Tourism Malaysia merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang bertanggungjawab dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi para pelancong.\nJerayawara tersebut diadakan di enam bandar utama di India yang bermula di New Delhi dan akan diikuti oleh Ahmedabad, Mumbai, Hyderabad, Bangalore dan Chennai. Diketuai oleh Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia/Afrika) Tourism Malaysia, Manoharan Periasamy, jelajah promosi ini juga disertai oleh kumpulan industri pelancongan Malaysia yang terdiri daripada tiga syarikat penerbangan tempatan, 22 ejen pelancongan, empat pengusaha hotel dan empat pengasas produk.\nIndia telah membenarkan penerbangan penumpang antarabangsa bermula pada 27 Mac lalu dan jumlah penerbangan Malaysia-India mencecah 76 penerbangan setiap minggu. Jumlah ini menunjukkan pemulihan sektor pelancongan semakin baik walaupun jumlah penerbangan sebelum pandemik adalah kira-kira 200 penerbangan setiap minggu.\nDengan penamatan keperluan kuarantin bagi pelancong antarabangsa yang lengkap vaksinasi, para pelancong hanya perlu menjalani ujian saringan RT-PCR dua hari sebelum berlepas dan RTK-Ag dalam tempoh 24 jam selepas tiba di Malaysia.\nIndia ialah sumber ketibaan asing ketujuh terbesar bagi Malaysia sebelum pandemik dengan mencatatkan lebih 600 ribu dan 700 ribu ketibaan pelancong India masing-masing pada tahun 2018 dan 2019. Pascapandemik menunjukkan India merupakan negara di tempat empat tempat teratas bagi ketibaan asing ke Malaysia. Selaras dengan peningkatan tersebut, Pengarah pejabat Tourism Malaysia di New Delhi, Sulaiman Suip memaklumkan bahawa syarikat-syarikat penerbangan merancang untuk meningkatkan lebih banyak bandar India dengan Kuala Lumpur menjelang musim panas kelak. Selain itu, jumlah penerbangan akan dibuka lebih banyak dan jumlah tambang bagi laluan Malaysia-India juga akan dikurangkan sesuai dengan peningkatan permintaan perjalanan.\nJelajah promosi tersebut bukan sahaja bertujuan untuk menarik minat pelancong asing ke Malaysia, malah untuk menanam semula keyakinan kepada para pelancong, dari India khususnya, bahawa negara sudah beransur pulih daripada pandemik yang melanda dunia dan bersedia untuk menerima kedatangan para pelancong. Apatah lagi, dengan pembukaan lebih banyak tempat-tempat menarik seperti taman tema Genting Skyworld, menara kedua tertinggi dunia, iaitu Merdeka 118 dan banyak lagi, para pelancong akan lebih gembira dengan percutian ke Malaysia pada kali ini." "SEMINANG II Himpunkan Penyelidik Kebudayaan Melayu Antarabangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2212 Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan, dan Lembaga Kerapatan Adat 50 Koto Sumatera Barat (LKAM), Indonesia pada hari ini menganjurkan Seminar Antarabangsa Kebudayaan Adat Minangkabau Negeri Kembar 50 Koto dan Negeri Sembilan kali ke-2 (SEMINANG II).\n\nSeminar ini bermula pada pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang dan dijalankan secara dalam talian melalui aplikasi WeBex dan paparan secara lansung melalui Facebook ATMA UKM. Seminar ini mengumpulkan para penyelidik kebudayaan Melayu dari Malaysia dan Indonesia, seterusnya melestarikan aktiviti penyelidikan peradaban Melayu walaupun dalam kekangan penularan COVID-19.\nPengarah ATMA, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, dalam kata alu-aluannya memaklumkan bahawa hubungan pentadbiran ATMA dengan pihak Lembaga Kerapatan Adat 50 Koto Sumatera Barat Indonesia telah bermula sejak tahun 2019, iaitu sejak penganjuran Wacana ATMA yang bertajuk \u201cPersamaan Identiti Antara 50 Koto dan Negeri Sembilan: Sejarah, Budaya dan Warisan.\u201d Beliau berharap seminar yang dijalankan pada hari ini dapat menguatkan lagi kerjasama rakan strategik dengan Indonesia khususnya dari segi jaringan dan pemerkasaan dalam bidang penyelidikan kebudayaan dan Adat Minangkabau.\nDalam ucaptama SEMINANG 2022, Felo Penyelidik Kanan ATMA UKM, Profesor Madya Dato\u2019 Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin berkata, SEMINANG yang telah diadakan pada kali pertama adalah bertarikh 3 Oktober 2019 dan bertempat di Bilik Senat, Bangunan Canselori, UKM.\nSehubungan dengan itu, cadangan seminar ini diadakan adalah bertujuan untuk meneruskan lagi kesepakatan yang telah terjalin sejak resolusi yang telah dipersetujui.\n\u201cJusteru, ATMA UKM mengadakan bagi kali kedua Seminar Antarabangsa Kebudayaan Adat Minangkabau dengan tema Pengaruh Kepimpinan Adat Minangkabau di alam Melayu. Kerjasama rakan strategik dari Indonesia akan menyemarakkan lagi jaringan dan pembudayaan penyelidikan kebudayaan Melayu secara langsung dan tidak langsung,\u201d jelas beliau.\nSeminar ini dijalankan dengan pembentangan 12 kertas kerja pengkaji pelajar sarjana tempatan dan rakan serumpun, Indonesia berkenaan dengan\u00a0 e-prosiding SEMINANG II dengan kupasan tajuk secara mendalam seperti yang berikut;\nRumusan dan resolusi SEMINANG 2022 yang berlangsung selama satu hari ini diharap dapat menyumbang kepada pemantapan pelan strategik ATMA yang telah pun disejajarkan dengan pelan strategik UKM.\nHal ini dimaklumkan oleh Timbalan Naib Canselor (Pendidikan dan Inovasi) UKM, YBhg. Profesor Dato\u2019 Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad yang berpendapat, penganjuran seminar tersebut bertepatan dengan pelancaran Pelan Strategik T.E.R.A.S. UKM 2021 \u2013 2025 di bawah \u201cKebitaraan Watan\u201d yang berkait rapat dengan warisan budaya.\nSeminar tersebut telah dirasmikan oleh Nicole Tan Lee Koon, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan yang merangkap ADUN Bukit Kepayang. Beliau juga yang banyak menyumbang dalam menjayakan seminar tersebut diharap dapat terus memberi sokongan dalam program yang akan datang terutamanya dalam bidang kebudayaan yang merupakan salah satu bidang tujahan ATMA yang penting.\nUKM memikul peranan yang besar dalam memartabatkan warisan kebudayaan masyarakat di Malaysia bagi membentuk identiti bangsa dan negara. Dengan kejayaan penganjuran seminar ini, ATMA diharap dapat menghasilkan penyelidikan dalam bidang yang lebih meluas dan meliputi seluruh kehidupan masyarakat. Oleh itu, penyelidikan dalam bidang kebudayaan perlu digarap secara lebih mendalam dan holistik bagi memperolehi gambaran besar tentang tamadun Melayu ini.\nATMA juga telah menggunakan pendekatan yang holistik dan multidisplin dalam merangka program pascasiswazah penyelidikan dan penerbitan dengan menjadikan displin Falsafah, Agama dan Sejarah sebagai antara displin teras kajian bidang Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan. Ini adalah satu daripada usahanya dalam mencapai matlamat penubuhannya apabila pendekatan tersebut kian mendapat gerapan yang lebih jelas. UKM meletakkan harapan yang tinggi agar ATMA mampu menjadi pusat kecemerlangan universiti sebagai Institut Alam dan Tamadun Melayu yang tersohor bukan sahaja dalam negara malah di peringkat antarabangsa." "Nama \u201cMuzium\u201d Jadi Tarikan Tersendiri Premis Penghasilan Labu Sayong\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Kangsar yang juga Bandar Diraja Perak Darul Ridzuan cukup terkenal dengan labu sayong. Sayong sendiri ialah tempat penghasilan produk warisan tradisional turun-temurun itu.\nOleh sebab begitu ramai pengusaha labu sayong di sekitar kawasan berkenaan, tindakan atau buah fikiran seorang daripada mereka untuk menampakkan kelainan memang sangat baik dan menarik.\nHaron Mat Jidin yang telah puluhan tahun menghasilkan labu sayong menerusi syarikatnya yang dinamakan Koleksi Haron, boleh dianggap kreatif apabila meletakkan nama Muzium Labu Sayong pada sebuah rumah kedai di Kampung Kepala Bendang. Kampung di Sayong itu juga merupakan tempat kelahirannya kira-kira 58 tahun lalu.\nSesiapa yang sekadar melihat gambar di media sosial mungkin menyangka bangunan kecil itu ialah Muzium Labu Sayong. Namun demikian, saya yang berpeluang mengunjunginya baru-baru ini mendapati hanya sebahagian daripada premis tersebut yang merupakan milik Koleksi Haron itu. Menurut Haron, beliau meletakkan nama Muzium Labu Sayong itu kira-kira empat tahun lalu.\nRupa-rupanya, ada sebuah bangunan seperti rumah tidak jauh dari situ menjadi tempat yang mempamerkan beraneka peralatan dan bahan, serta memperlihatkan kaedah membuat labu sayong secara tradisional. Di satu bahagian di situ, Haron turut meletakkan gambar Allahyarhamah ibunya yang juga merupakan guru beliau yang banyak berjasa.\nDi satu bahagian lapang berhampiran dengan rumah kedai kecil itu diletakkan pula peralatan membuat labu sayong secara moden bersama-sama beberapa bahannya. Labu pelbagai bentuk dan rupa yang telah siap dengan harga munasabah diletakkan pula di satu bahagian tidak jauh dari situ.\nSelain melawat, para pengunjung turut berpeluang mempelajari kaedah asas membuat labu Sayong daripada Haron sendiri dengan kadar bayaran tertentu yang berpatutan. Dalam hal ini, kebolehan dan bakat Haron tidak boleh disangkal kerana beliau pernah memenangi tempat pertama Hadiah Kategori Produk Hasil Tanah Showcase Satu Daerah Satu Industri Peringkat Nasional 2015 pada 6 Disember 2015. Beliau juga menerima beberapa sijil penghargaan atas segala usaha dan produk yang dihasilkan.\nDapat dilihat di sini, para pengunjung tetap memperoleh serba sedikit ilmu. Apatah lagi Haron sangat peramah, mudah mesra dan petah berkata-kata dengan loghat Sayong yang kadang-kadang menggelikan hati semasa memberikan taklimat dan bercerita secara ringkas namun padat dengan pengisian." "Achik Ukays Tampil dengan Lagu Bermaafan di Aidilfitri Versi Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Buloh \u2013 Memang kedatangan Hari Raya Aidilfitri wajar disambut dengan penuh kesyukuran, serta bertakbir dan bertahmid. Walau bagaimanapun, sejak sekian lama, sambutan \u201chari kemenangan\u201d umat Islam ini juga seperti tidak lengkap jika tiada dendangan lagu bersempena dengannya, atau lebih mudah disebut sebagai lagu raya.\nMenjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, pelbagai jenis dan irama lagu raya diputarkan dari yang lama hingga terkini. Antara pihak kedua yang terlibat ialah penyanyi muda dan baharu, Achik (Ukays) yang berpeluang merakamkan semula lagu raya ciptaan komposer Salman Shariff, dan lirik ditulis oleh Khairul Anuar untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri 1443 Hijrah.\nMenurut Salman, versi asal lagu ini gabungan rentak Melayu dan Arab, dan telah dirakamkan untuk Amir (UK\u2019s) pada tahun 1995 yang berjudul, Bermaafan di Aidilfitri. Hingga kini, lagu tersebut kekal sebagai sebuah lagu terkenal yang sinonim dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada setiap tahun.\n\u201cWalau bagaimanapun, untuk versi terbaharu pada tahun 2022, muzik lagu ini digubah kepada rentak yang rancak, moden dan dirakamkan untuk Achik. Judulnya juga diubah sedikit menjadi Bermaafan di Hari Raya dengan tujuan agar lagu ini akan terus terkenal, serta boleh disiarkan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha setiap tahun,\u201d jelas Salman.\nSebenarnya, Salman sendiri yang membuat perancangan awal untuk rakaman semula lagu raya ini, yang kemudian dibawa kepada tenaga produksi Luncai Emas Sdn. Bhd. untuk menerbitkannya. Oleh sebab lagu asalnya dendangan Amir, jadi lagu versi baharu ini ditawarkan kepada Achik.\nAchik memang bergandingan dengan kumpulan Ukays untuk menggantikan penyanyi kumpulan tersebut menerusi lagu seperti Terseksa, I Love U I Miss U Raya dan Terpaksa Ku Lepaskan.\nMengenai tawaran kepadanya ini, Achik menganggap hal yang demikian agak baik untuk beliau terus menonjol dan kembali aktif. Hal ini dikatakan sedemikian kerana barangkali ada yang menyangka beliau tidak lagi aktif dalam industri muzik tanah air.\n\u201cSaya masih berada dalam industri muzik tanah air, dan giat membuat persembahan di seluruh Malaysia bersama-sama Ukays yang kekal dianggotai ahli asal, iaitu Ali, Well dan Tokjie,\u201d jelas Achik yang juga masih giat di media sosial seperti Instagram: achikroslan1 dan TikTok: Achikroslanofficiall.\nMengulas lanjut mengenai tawaran tersebut, Achik memberitahu beliau hampir menitiskan air mata ketika rakaman suara di studio The Bengkel Artwork kerana lagu tersebut sebuah lagu yang ada kaitan dengan dirinya yang amat bermakna.\nSebelum ini, Achik pernah muncul dengan lagu tunggal sulung di bawah Luncai Emas, berjudul Hanya Doa, ciptaan Awang BPR dan I.Kay dengan nama pentas Achik Roslan.\nIstimewanya, Bermaafan di Hari Raya turut diterbitkan dalam versi instrumental alunan duet gitar oleh SS dan seruling tiupan Mohar. SS juga bermain bass dan mengendalikan programming, sementara keyboard oleh Bell.\nSelain lagu ini, Salman turut mencipta melodi, dan menerbitkan Cahaya Aidilfitri, nyanyian Ramlah Ram, Suasana Hari Raya (Zamani Slam), dan Rindu Syahdu di Hari Raya (Nurul).\nBermaafan di Hari Raya juga bakal menampilkan video liriknya di saluran YouTube Luncai Emas pada penghujung April/Ramadan ini, serta secara jualan digital di pelantar penstriman dan iTunes.\nTentulah Achik, Salman dan Luncai Emas mengharapkan Bermaafan di Hari Raya berjaya menyentuh hati para pendengar di seluruh Malaysia, dan menarik perhatian generasi baharu dalam kemeriahan menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini dalam suasana kelaziman baharu." "Lambaian Ramadan Menggamit Kedatangan Wakana ke Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBermula dengan hanya mendengar kawan-kawan bercerita tentang keindahan Ramadan membuka hati gadis manis dari negara matahari terbit untuk datang ke Malaysia yang beribu-ribu batu jauhnya, demi merasai suasana pada bulan Ramadan.\nTernyata rahmat Ramadan bukan sahaja menyentuh hati umat Islam malah menarik Wakana Katayama ke Malaysia merasai sendiri pengalaman dan suasana bulan puasa yang sebelum ini hanya didengari melalui kawan-kawan dan media sosial.\n\u201cSemasa saya belajar di Kyoto Sangyo University, Jepun, saya berkawan dengan pelajar Muslim dari Indonesia yang suka bercerita tentang Islam. Bermula dari situ, minat untuk mengenali Ramadan mula berputik,\u201d ujarnya.\nPertama kali menyambut bulan yang penuh berkat di Sintok, Kedah, perasaan ingin tahu terus membuak-buak. Masa dan peluang yang ada tidak dilepaskan dan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menimba ilmu baharu.\n\u201cApabila saya tiba di Malaysia, saya terus rasa hendak berpuasa sebaik-baik sahaja rakan-rakan memberitahu bahawa Ramadan bakal tiba tidak lama lagi. Saya amat teruja untuk menyambut Ramadan kerana sebelum ini saya hanya dengar-dengar sahaja tetapi tidak pernah melaluinya.\u201d Luah graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dari Kyoto Sangyo University, Jepun yang pernah menjalani praktikum selama enpat bulan di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada tahun 2019.\nWakana terkesima melihat umat Islam berpuasa sambil meneruskan rutin harian, bekerja mahupun belajar seperti biasa malah lebih mengagumkannya apabila anak-anak kecil juga berpuasa seperti orang dewasa. Bagi Wakana, pertama kali tidak makan dan minum pada siang hari menjadi detik paling memeritkan kerana tidak pernah berpuasa seumur hidupnya.\n\u201cSelalunya kita boleh makan, tetapi dalam bulan Ramadan, saya tidak boleh makan setiap masa. Jadi, hari pertama berpuasa amat memeritkan dan sangat sukar kerana orang Jepun tidak biasa dengan keadaan ini.\u201d\nMenurut Wakana, \u201cSaya mula berasa lapar pada pukul 2.00 petang. Rupa-rupanya begini rasanya berpuasa. Macam-macam perasaan datang silih berganti, dahaga, penat, teringin hendak makan tetapi saya tahan dan sabar semata-mata ingin merasai bagaimana umat Islam berpuasa.\u201d\n\u201cHal ini disebabkan masih banyak perkara yang saya tidak tahu dan saya ingin meneroka lebih lagi kerana apabila semakin kenal Ramadan, semakin mudah untuk menyesuaikan diri,\u201d ujarnya.\nWalaupun mengharungi hari yang mencabar, sokongan rakan-rakan yang beragama Islam membakar semangatnya untuk terus bertahan. Wakana bersyukur dengan keprihatinan rakan-rakan yang sentiasa bercerita tentang Ramadan dan berkongsi bahan bacaan yang disertakan dengan info bergambar yang memberikan kekuatan buatnya untuk terus tabah menghadapi cabaran berpuasa.\n\u201cNikmatnya puasa apabila kita dapat menahan lapar dahaga dari pagi dan menjamah makanan apabila terbenamnya matahari. Saat berbuka puasa memang seronok tidak terkata, bayangkan selepas penat seharian tidak makan apa-apa terutamanya pada hari pertama yang amat memeritkan, saya tidak sangka dapat melakukannya,\u201d luahnya.\nMengulas lanjut pengalamannya pada hari pertama berpuasa, Wakana dan rakan sebilik tidak tahu tentang makan pada awal pagi, iaitu bersahur. Jadi, mereka tidak bangun, tidak makan apa-apa dan bertahan hingga pukul 5.30 petang.\n\u201cSetelah diceritakan panjang lebar, barulah saya tahu cara untuk kekal sihat bertenaga dengan sahur. Sebaik-baik masuk sahaja hari kedua, kami bangun seawal pukul 5.00 pagi, menyiapkan makanan untuk bersahur seperti roti, pisang dan air,\u201d tambahnya.\nAnak bongsu daripada tiga beradik itu mengakui banyak perkara yang dipelajari selain ibadah puasa antaranya selok-belok pentadbiran di Malaysia, mengenali budaya dan masyarakat majmuk serta mengubah tanggapannya terhadap Islam.\nWakana tidak melepaskan peluang berbuka puasa di masjid yang sentiasa mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk merasai suasana pada bulan puasa.\n\u201cKetika ke masjid mereka tersenyum kepada saya dan menyapa dengan senyuman mesra, saya teruja diterima oleh orang Malaysia dan berharap Islam memberi kebaikan untuk orang lain. Saya mengagumi Muslim kerana mereka dapat mengawal diri mereka apabila berpuasa, semua orang memahami antara satu sama lain dan mereka kelihatan seperti keluarga di masjid.\u201d\n\u201cPuasa sukar bagi saya kerana saya tidak pernah berpuasa, namun puasa adalah perkara biasa bagi mereka. Apabila saya memberitahu mereka bahawa saya juga berpuasa, mereka terkejut dan gembira, lalu kami berbuka bersama-sama dengan pelbagai jenis makanan yang sedap,\u201d ujarnya.\nAlah bisa tegal biasa. Sejak berpuasa, Wakana kini selesa untuk meneruskan puasa pada hari-hari berikutnya dan sesekali berbuka puasa di Masjid Sultanah Bahiyah yang sentiasa mengalu-alukan tetamu untuk merasai suasana Ramadan. Wakana turut teruja melihat sendiri cara memasak bubur lambuk yang sangat digemari.\nKatanya, \u201cSaya seronok dapat memasak bubur dan saya lihat orang Melayu sangat rapat antara satu sama lain. Pertama kali bertemu walaupun mereka tidak kenal saya tetapi mereka mesra menyambut saya dan sangat ramah bercerita mengenai bubur lambuk sehingga saya rasa seperti sudah lama kenal.\u201d\n\u201cSetibanya di dapur Pusat Islam ketika itu, acara memasak sudah bermula dalam cuaca yang panas apabila saya mendekati sekitar periuk besar itu terasa lebih panas. Ini kali pertama saya melihatnya dan sangat mencabar kerana mereka berpuasa, tidak boleh minum air jika dahaga tetapi mereka boleh kacau bubur dengan senyuman dan celoteh yang menghiburkan,\u201d ujar Wakana.\nBaginya, pengalaman berpuasa ini merupakan suatu pengalaman hebat bersama-sama orang Malaysia." "DBP Himpunkan Suara Anak Seni Tiga Zaman\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2212 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja (BPSKR) pada hari ini mengadakan \u201cProgram Bicara Seni Kata Lagu Tiga Zaman\u201d, bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP.\nProgram bual bicara secara santai ini menampilkan nama yang tersohor dalam industri seni muzik tanah air sebagai ahli panel, iaitu Datuk Habsah Hassan, Encik Fauzi Marzuki, Dato\u2019 Wan Aishah Wan Ariffin (Aishah), Encik Muhamed Eric Muhamed Fuzi (Eric Fuzi), Encik Muhammad Naim Daniel Baharin (Naim Daniel) dan Puan Nurul Aina Abdul Ghani (Aina Abdul). Dalam program tersebut juga, Encik Adlin Aman Ramlie bertindak sebagai moderator yang mengajukan pelbagai bentuk persoalan yang menarik untuk dikupas oleh barisan ahli panel.\nMenurut Ketua Bahagian BPSKR, Puan Ariza Che Ismail, program ini diadakan bagi tujuan memberikan penulisan lirik lagu yang baik dan berestetika kepada pelajar. Selain itu, program ini juga merupakan wahana untuk memupuk kesedaran berbahasa kebangsaan dengan baik dan betul untuk dipraktikkan oleh masyarakat.\nKetua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran dalam ucapan beliau menyatakan, \u201cProgram yang diadakan pada hari ini merupakan ruang yang baik untuk kita mendengar pandangan daripada penulis lirik dan artis tersohor yang mewarnai dunia seni muzik negara pada ketika ini. Diharapkan program ini dapat memberikan manfaat khususnya kepada para pelajar institusi pendidikan tinggi yang hadir pada hari ini.\u201d\nMenurut Datuk Habsah Hassan, perjalanan rentasan estetika seni muzik beliau bermula dengan tugasan beliau sebagai penulis skrip di stesen televisyen yang terkenal di Malaysia. Katanya, \u201cSaya berminat dengan apa-apa sahaja perkara yang berkaitan dengan kata-kata. Saya juga akan mencari cerita yang berkaitan dengan perkara yang akan dilalui oleh setiap manusia.\u201d\nKarya seni harus datang dari hati, kerana hanya yang datang dari hati yang akan menyentuh hati.\nDalam program tersebut, penyanyi Aishah yang terkenal dengan lagu Janji Manismu menyatakan bahawa lirik lagu tanpa makna ibarat hanya sebagai sebuah rumah tanpa tiang seri. \u201cSetiap cerita yang hendak disampaikan haruslah mempunyai hubungan serta memberikan penjiwaan dan \u2018roh\u2019 kepada lagu dan orang yang mendengarnya. Oleh sebab itu, penggunaan bahasa yang baik amat penting dalam penciptaan lirik lagu,\u201d jelas Aishah.\nYang berikut diperturunkan antara amanat penting yang disampaikan oleh ahli panel kepada penonton Program Bicara Seni Kata Lagu Tiga Zaman;\n\u201cUntuk membuat lagu, perlulah ikhlas agar lagu yang dihasilkan akan melekat pada hati pendengar.\u201d \u2013 Fauzi Marzuki.\n\u201cKeindahan lirik lagu pada zaman dahulu menjadikan saya seperti orang muda yang terperangkap dalam jiwa orang tua\u201d \u2013 Aina Abdul.\n\u201cApa-apa yang dikerjakan oleh generasi terdahulu, jika hasilnya baik, maka akan kekal relevan sepanjang zaman. Maka itu, saya akan cuba menulis dengan seikhlas mungkin supaya hasil yang terbaik akan diingati dan memberikan manfaat sepanjang zaman.\u201d \u2013 Naim Daniel.\n\u201cKeadaan semasa mempengaruhi ciptaan lagu. Saya dan ahli kumpulan saya akan menulis lagu yang mempunyai mesej tersendiri untuk disampaikan kepada masyarakat berdasarkan situasi semasa yang berlaku di dalam negara.\u201d \u2013 Eric Fuzi.\nProgram Bicara Seni Kata Lagu Tiga Zaman dihadiri oleh pensyarah dan pelajar dari Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris dan disiarkan secara langsung melalui platform media sosial DBP.\nYang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengurusan Tertinggi DBP yang terdiri daripada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), YBhg. Tuan Haji Md. Johari Hasan; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi; dan Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBhg. Puan Fauzilahyatun Mustafa." "Pemergian Jamaluddin Alias: Ikon Lagu Patriotik yang Sukar Dicari Ganti\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNama Jamaluddin Alias memang sinonim dalam kalangan masyarakat umum sebagai penyanyi lagu patriotik kenegaraan sejak era 1960-an. \nWalaupun Jamaluddin kini sudah tiada setelah kembalinya ke rahmatullah pada usia 85 tahun pada 15 April 2022 lalu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara, Petaling Jaya, tetapi nama dan gema suaranya pasti masih segar dalam ingatan masyarakat terutama yang berusia 30 tahun ke atas dan warga emas.\nPenduduk Malaysia yang dalam kategori usia tersebut memang membesar dan mendewasa bersama-sama lagu patriotik nyanyiannya yang mampu menyuntik semangat perjuangan, cinta kepada negara dan bersedia untuk turut serta menjayakan kempen semasa negara yang dianjurkan oleh kerajaan.\nSuaranya yang berkumandang melalui radio menyanyikan lagu patriotik kenegaraan itu lebih ketara selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 yang menggabungkan penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura. Bagi menyemarakkan semangat rakyat supaya berbangga dengan penubuhan Malaysia itu, lagu Malaysia Berjaya nyanyiannya yang dicipta oleh Saiful Bahari disiarkan melalui Radio Malaysia pelbagai rangkaian bahasa khususnya selepas setiap kali siaran warta berita radio.\nMasyarakat pastinya tetap ingat pada lirik yang menyebut;\n\u00a0Dari Perlis sampailah ke Sabah,\nKita sudah merdeka;\nNegara makmur rakyat mewah,\nKita sudah berjaya.\nPenyiaran lagu berentak mars dengan liriknya yang mudah diingat serta mampu disampaikan oleh Jamaluddin secara bersemangat berjaya menyuntik semangat patriotik dalam jiwa pendengar. Beberapa lagu patriotik lain dalam rentak yang sama selepas itu ialah Perajurit Tanah Air yang berjaya membina semangat untuk berjuang secara habis-habisan kepada perajurit yang bertempur menentang musuh di perbatasan demi mempertahankan negara. Begitu juga dengan Samudera Raya oleh pencipta yang sama. Lagu patriotik lain yang dinyanyikannya termasuk Jaya Diri, Keselamatan Jalan Raya, Majulah dan beberapa lagu yang menjadi tema sambutan hari kebangsaan negara setiap tahun.\nBegitu juga setiap kali negara mengadakan pilihan raya umum, suaranya pula kedengaran menyanyikan lagu Mari Mengundi yang mengajak masyarakat yang telah mendaftar sebagai pemilih untuk keluar beramai-ramai menunaikan hak mereka bagi memilih calon pilihan dan parti yang bakal memerintah.\n\u201cSuara tenor yang jelas dan besar miliknya membolehkan Jamaluddin menyampaikannya lagu-lagu berentak sedemikian secara penuh bersemangat; menjadikannya sebagai satu-satunya penyanyi patriotik pada ketika itu yang benar-benar dapat menyuntik semangat juang dalam kalangan perajurit dan rakyat seluruhnya,\u201d kata pencipta dan penggubah lagu veteran, Haji Mahzan Manan. Beliau yang mewakili pencipta, penggubah, pemuzik dan penyanyi menyifatkan pemergian Jamaluddin sebagai suatu kehilangan besar kepada dunia seni dan negara yang sukar dicari ganti.\nHaji Mahzan yang lebih muda sedikit usianya daripada Jamaluddin memang menjadi teman rapatnya sejak muda ketika beliau mula terlibat mencipta lagu khususnya yang berentak keroncong. Baginya, suara Jamaluddin juga turut sesuai menyanyikan lagu berentak keroncong termasuk yang diciptanya.\nSelain terkenal dengan kehebatannya menyampaikan lagu patriotik, Jamaluddin juga turut dikenali sebagai penyanyi lagu keroncong yang baik.\nKebolehannya dalam bidang nyanyian dicungkil ketika kali pertama beliau menyertai pertandingan Bintang Radio anjuran Radio Malaya pada tahun 1961. Sejak itulah, bakat nyanyian anak jati Kampung Baharu, Kuala Lumpur yang dilahirkan pada 16 Februari 1937 ini mula menyerlah dengan menyanyikan lagu berirama asli, keroncong dan kemudiannya lagu patriotik kenegaraan berentak mars yang bersemangat.\nKeputusannya menyertai pertandingan itu bertujuan menggilap bakat asalnya sebagai penyanyi dalam kumpulan koir. Kewibawaan yang ada pada dirinya itu juga turut mendapat kepercayaan konduktor muzik, Tony Fonseka untuk memilih Jamaluddin mengetuai kumpulan koir itu yang ditubuhkan untuk mengadakan persembahan pada malam menyambut kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Kumpulan koir seramai 39 orang itu mewakili pelbagai kaum.\nBakatnya yang petah berbicara pula semakin menonjol apabila menyertai Radio Malaya pada tahun 1962. Ketika ditempatkan di bahagian persembahan radio, beliau melaksanakan tugas sebagai juruhebah dan turut menerbitkan beberapa rancangan. Dengan kebolehan menyanyi yang ada pada dirinya, Jamaluddin pernah diminta menjadi guru oleh Ketua Pengarah Penyiaran ketika itu, Dol Ramli untuk mengajar masyarakat menyanyikan dengan betul lagu kebangsaan Negaraku melalui radio yang diiringi petikan piano oleh Alfonso Soliano.\nKetika negara berusaha berkempen mewujudkan rakyat yang sihat dan cergas bermula pada era 1970-an, Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut membantu membangkitkan kesedaran itu dengan menggalakkan masyarakat bersukan termasuk bersenam sebagai aktiviti paling asas. Jamaluddin diberikan tanggungjawab menerbitkan rancangan Mari Bersenam di Radio Malaysia Rangkaian Nasional pada setiap pagi. Walaupun dirakamkan dalam studio tetapi gaya penyampaiannya cukup bersemangat bagi mengajak pendengar sama-sama bersenam melakukan pergerakan ringan diiringi dengan tempo muzik yang bersesuaian.\nMendengar gayanya yang ceria dan bersemangat, pendengar mesti membayangkan Jamaluddin memiliki tubuh yang tampan tetapi hakikat sebenar badannya sihat, gemuk dan montel.\nInilah yang kerap menjadi bahan gurauan dan sindiran rakan-rakan sekerja yang menyapa dirinya sebagai Jamal. Secara berseloroh yang membayangkan rasa bangga dan puas hatinya, Jamaluddin berkata, \u201cYang penting mesej kita sampai kepada pendengar untuk menjadikan mereka sebagai warga yang cergas dan sihat seperti yang dihasratkan oleh pemimpin negara.\u201d\nDalam pertemuan penulis beberapa kali dengan beliau semasa hayatnya, Jamaluddin mengakui nostalgia masa mudanya benar-benar kembali terimbau apabila mendengar Radio Klasik Nasional menyiarkan lagu keroncong dan asli nyanyiannya serta lagu patriotik \u201cinilah barisan kita .\u201d yang membangkitkan semangat untuk berjuang semasa tragedi pencerobohan pengganas asing di Lahat Datu, Sabah pada tahun 2013 yang turut mengorbankan beberapa orang anggota keselamatan.\nLagu yang sama turut disiarkan menerusi RTM bagi menghargai dan membangkitkan semangat petugas kesihatan keluarga Malaysia yang berkhidmat di barisan hadapan khususnya doktor dan jururawat semasa negara dilanda pandemik COVID-19 sejak tahun 2020.\nBukan sekadar sebagai penyanyi dan penyiar tetapi suara Jamaluddin juga sinonim dengan pengulas sukan di radio yang berkaliber khususnya pada era 1970-an hingga 1980-an bersama-sama rakan pengulas yang lain termasuk Dato\u2019 Rahim Razali, Aziz Ibrahim, Amran Hamid, Zulkarnain Hasan, Baharin Tahi, Husin Ibrahim dan Dato\u2019 Hasbullah Awang.\nBidang sukan memang diminatinya berdasarkan pengalaman menjadi pemain bola sepak bagi pasukan Selangor bersama-sama legenda bola sepak negara, Abdul Ghani Minat pada era awal dulu. Walau bagaimanapun, semasa menjadi pengulas sukan di radio, beliau terlibat membuat liputan bagi semua jenis acara termasuk bola sepak, badminton, hoki, renang dan olah raga. Bukan sahaja di dalam negara tetapi juga yang melibatkan kejohanan di peringkat antarabangsa seperti bola sepak Piala Asia 1980 di Kuwait, Hoki Piala Dunia di Bombay 1982, Sukan SEA Jakarta 1979 dan Manila 1991, Sukan Asia di New Delhi 1982 dan Sukan Olimpik Barcelona 1992.\nLaporannya kemas dan jelas bersama-sama pergerakan pemain dan peserta dengan gaya bersemangat serta ceria yang membangkitkan keseronokan peminat semasa mencapai kemenangan di samping menyuntik semangat motivasi kepada pendengar yang kecewa semasa berdepan dengan saat kekalahan. Kelincahan suaranya semasa mengulas tentunya masih segar dalam ingatan peminat sukan negara.\nAtas keperibadian dan sifatnya sebagai seorang penyiar legenda yang serba boleh itu, ketiadaan Jamaluddin kini memang turut benar-benar dirasai oleh rakan setugasnya yang telah bersara. Persatuan Veteran RTM (PVRTM) menyifatkan pemergian Jamaluddin sebagai satu kehilangan besar atas sifat serba bolehnya dalam menyuntik semangat perjuangan dan cinta akan negara kepada rakyat melalui lagu patriotik.\n\u201cKami tetap mengingati Allahyarham Jamaluddin sebagai penyiar serba boleh dan personaliti yang hebat yang perlu dicontohi dan sukar dicari ganti,\u201d kata Presiden PVRTM, Hajah Zohara Gany Mhd Bathusha. PVRTM yang memang menyedari kehebatan bakatnya itu serta ramai lagi personaliti penyiar yang lain telah pun mengambil inisiatif mendokumentasikan biodata dirinya dalam buku mewah, Di Sebalik Nama Orang RTM. Banyak pengalaman menarik yang dilaluinya sebagai penyiar dan penyanyi diceritakan dalam buku ini. Edisi pertama buku ini yang baru sahaja diterbitkan memuatkan seramai 76 orang personalti penyiar sebagai ikon RTM sejak era awal.\nMenurut beliau, ramai lagi nama personaliti penyiar radio dan TV akan menyusul melalui penerbitan edisi seterusnya sebagai usaha PVRTM mendokumentasikan maklumat tentang setiap daripada mereka yang memainkan peranan penting dalam bidang penyiaran yang turut berusaha memberikan maklumat dan sekali gus membentuk keluarga Malaysia yang dinamik, sejahtera, harmoni dan berjaya." "PETRONAS Hidupkan Semula Drama Pendek Hari Perayaan di Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pada awal era 2000-an, PETRONAS sentiasa menyentuh hati masyarakat dengan drama pendek yang diterbitkan olehnya bersempena dengan perayaan utama di negara ini, terutamanya Hari Raya Aidilfitri. Karya visual arahan Yasmin Ahmad yang ditayangkan di televisyen itu sentiasa menarik perhatian dan amat ditunggu-tunggu pada saban tahun.\nWalau bagaimanapun, selepas pemergian Yasmin pada 25 Julai 2009, tiada lagi drama berjiwa halus sedemikian yang turut mewarnai sambutan perayaan dapat ditonton di televisyen. Justeru, untuk mengubati kerinduan masyarakat ini, PETRONAS berusaha menghidupkan kembali suasana dan perasaan tersebut dengan penerbitan drama pendek arahan pengarah lain yang berwibawa.\nPada 26 April 2022 lalu di sebuah hotel terkemuka, PETRONAS memperkenalkan episod kedua drama bersiri 366 terbitannya, iaitu 366: Hari ke-123, bersempena dengan kedatangan Hari Raya Aidilfitri pada 3 Mei 2022 nanti.\nDrama bersiri 366 dimulakan dalam Episod Pertama: Tahun Baharu Cina: Hari ke-32 pada Februari 2022 lalu dengan paparan kisah Zhi Yi, lakonan Lee Qi yang berusaha mencari ibunya, tetapi tidak kesampaian.\nCerita Hari ke-123 memberikan tumpuan kepada Poji (Azri Sabri), seorang pemuda yang penuh keberanian dan kesungguhan, pulang ke kampung dengan harapan dapat memeterai cinta sejatinya bersama-sama Ayu (Aishah Azman).\nNamun demikian, Poji menghadapi masalah besar kerana berlaku pelbagai kejutan, lebih-lebih lagi ketika menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri. Begitu pun, Poji menempuhi ujian tersebut dengan berani, dan reda dalam menerima takdir Allah SWT.\nPETRONAS berharap agar para penonton bergembira menonton bahagian kedua daripada tujuh episod drama bersiri ini, dengan watak-watak terus mencari erti kehidupan dan menempuhi segala cabaran.\nPengurus Besar Kanan Kumpulan Komunikasi Strategi PETRONAS, Datin Anita Azrina Abdul Aziz, dalam ucapannya menyatakan meskipun sekarang baru memasuki suku pertama tahun 2022, tetapi rakyat Malaysia terus berusaha setiap hari meneruskan kehidupan, mengejar impian, dan melupakan kenangan lalu yang pilu. Langkah terbaik yang boleh dilakukan, kata beliau, adalah dengan terus mara, sama ada secara perseorangan, berkumpulan mahupun sebuah negara.\n\u201cApabila kita dapat berkumpul semula dengan keluarga pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini, marilah kita melihat sejauh mana dorongan dan pengorbanan yang telah dilakukan dua tahun lalu. Usahlah kita terus bersedih, tetapi bangkitlah dengan ceria menghadapi hari mendatang bersama-sama yang disayangi,\u201d tambah Datin Anita.\nUcapan beliau dibacakan oleh Ketua Jabatan Pengurusan Komunikasi, Kumpulan Komunikasi Strategi PETRONAS, Joseph Edwin.\nDrama bersiri 366: Hari ke-123 yang dipenuhi cinta, persahabatan dan penerimaan boleh ditonton menerusi saluran media sosial rasmi PETRONAS bermula pada 27 April 2022 lalu. Semoga drama mampu menghidupkan semula tema festival PETRONAS.\nLima lagi episod 366 yang bakal muncul ialah Episod 3: Kaamatan Hari ke-150, Episod 4: Gawai Hari ke-152, Episod 5: Merdeka Hari Malaysia Hari ke-243, Episod 6: Deepavali Hari ke-297, dan Episod 7: Krismas Hari ke-365.\nAntara watak utama lain dalam 366 termasuklah Adam (Azwan Kombos), Margaret (Angeline Tan), Marilyn (Syafarina Abdullah), Vikram (Maheswaran Manikam), dan Pak Cik Lim (Kenji Sawahi).\nDalam majlis pelancaran 366 yang turut dihadiri oleh Remy Ishak, Puteri Aishah, Angah Raja Lawak, Jehan Miskin, Isey Azlisham dan Kabir ini, penyanyi pujaan ramai, Aizat Amdan menghiburkan hadirin dengan dendangan lagu runut bunyi drama bersiri tersebut, iaitu Percaya dan lagu popularnya, Sampai ke Hari Tua." "Perihal Kata Hubung\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata hubung ialah kata tugas yang digunakan untuk menghubungkan klausa dalam ayat majmuk. Oleh itu, kaitan antara kata hubung dengan klausa adalah seperti yang berikut:\nklausa + kata hubung + klausa (+ kata hubung + klausa + .)\nOleh sebab kata hubung menghubungkan klausa, setiap klausa harus mempunyai binaan subjek + predikat dalam struktur permukaan atau struktur dalamannya. Sila lihat contoh yang berikut:\n1a.\u00a0 Dia membeli baju dan seluar.\n1b.\u00a0 Dia membeli baju.\n1c.\u00a0 Dia membeli seluar.\n2a.\u00a0 Baju yang dipakainya kotor.\n2b.\u00a0 Baju dipakainya.\n2c.\u00a0 Bajunya kotor.\n3a.\u00a0 Dia mengetahui bahawa ujian akan diadakan.\n3b.\u00a0 Dia mengetahui hal itu.\n3c.\u00a0 Ujian akan diadakan.\n4a.\u00a0 Dia belajar supaya lulus.\n4b.\u00a0 Dia belajar.\n4c.\u00a0 Dia lulus.\nStruktur dalaman ayat 1a meliputi dua klausa, iaitu dia membeli baju (1b) dan dia membeli seluar (1c). Namun demikian, dalam struktur permukaannya, subjek dan kata kerja yang sama dalam klausa gabungan telah digugurkan.\nStruktur dalaman ayat 2a meliputi dua klausa, iaitu baju dipakainya (2b) dan bajunya kotor (1c). Namun demikian, dalam struktur permukaannya, subjek dalam klausa relatifnya telah diganti oleh kata hubung yang.\nStruktur dalaman ayat 3a meliputi dua klausa, iaitu dia mengetahui hal itu (3b) dan ujian akan diadakan (3c). Namun demikian, dalam struktur permukaannya, objek hal itu telah diganti oleh klausa komplemen objek bahawa ujian akan diadakan. Struktur dalaman ayat 4a meliputi dua klausa, iaitu dia belajar (4b) dan dia lulus (4c). Namun demikian, dalam struktur permukaannya, subjek yang sama (dia) dalam klausa keterangan telah digugurkan.\nOleh sebab mekanisme pengguguran, klausa yang mesti ada subjek frasa nama ada kalanya hanya menampakkan predikat pada struktur permukaan klausa kedua yang dihubungkan dengan klausa pertama. Oleh itu, klausa kedua seolah-olah bermula dengan kata kerja, kata adjektif atau frasa sendi nama. Sila lihat contoh yang berikut:\n5a.\u00a0 Dia dikenakan hukuman kerana (dia) berbuat salah.\n5b.\u00a0 Dia dikenakan hukuman.\u00a0 \u00a0 \u00a0(FN + FK)\n5c.\u00a0 Dia berbuat salah. (FN + FK)\n6a.\u00a0 Dia menangis kerana (dia) sedih.\n6b.\u00a0 Dia menangis. (FN + FK)\n6c.\u00a0 Dia sedih. (FN + FA)\n7a.\u00a0 Dia menaiki kereta api untuk (dia) ke Johor Bahru.\n7b.\u00a0 Dia menaiki kereta api. (FN + FK)\n7c.\u00a0 Dia ke Johor Bahru. (FN + FS)\nDalam ayat 5a, klausa keterangan ayat majmuk hanya menampakkan frasa kerja berbuat salah.\nDalam ayat 6a, klausa keterangan ayat hanya menampakkan kata adjektif sedih.\nDalam ayat 7a, klausa keterangannya hanya menampakkan frasa sendi nama ke Johor Bahru.\nOleh sebab klausa mesti ada subjek frasa nama, subjek yang berlainan dalam klausa kedua mesti dinyatakan dalam struktur permukaan. Sila lihat contoh yang berikut:\n8a. *Ibu bapa mendidik anak mereka supaya berjaya.\n8b. Ibu bapa mendidik anak mereka supaya anak mereka berjaya.\n9a.\u00a0 *Untuk berjaya adalah susah.\n9b.\u00a0 \u00a0Untuk dia berjaya adalah susah.\n10.\u00a0 \u00a0Dia belajar untuk lulus.\n11a.\u00a0 Usaha untuk menolong orang miskin telah diadakan.\n11b.\u00a0 Usaha untuk tujuan menolong orang miskin telah dijalankan.\n11c.\u00a0 Usaha untuk kerajaan menolong orang miskin telah dijalankan.\n12.\u00a0 \u00a0Dia membeli hadiah untuk adiknya.\nAyat 8a kurang sempurna kerana maksudnya mengelirukan pembaca. Tanpa subjek yang baharu dalam klausa keterangan, orang yang akan berjaya seolah-olahnya ialah ibu bapa, bukannya anak mereka. Oleh itu, subjek baharu anak mereka harus dinyatakan.\nAyat 9a kurang sempurna kerana klausa komplemen untuk berjaya tiada subjek.\nDalam ayat 10, subjek yang sama dalam klausa keterangan telah digugurkan.\nDalam ayat 11a, untuk hanya merupakan kata sendi nama kerana frasa kerja menolong orang miskin sebenarnya ialah frasa nama penerang seperti tujuan menolong orang miskin (ayat 11b) yang telah digugurkan intinya tujuan. Dalam ayat 11c pula, kata untuk ialah kata hubung kerana kata itu mendahului klausa komplemen untuk kerajaan menolong orang miskin yang mempunyai subjek kerajaan dan predikat menolong orang miskin.\nBagi ayat 12, kata untuk bukan kata hubung tetapi sendi nama kerana kata itu diikuti oleh kata nama adiknya, bukannya klausa.\nBagi ayat yang mengandungi peribahasa, ada kalanya yang terhasil ialah ayat majmuk, dan ada kalanya yang terhasil ialah ayat tunggal. Sila lihat contoh yang berikut:\n13. Dia kebingungan seperti rusa masuk kampung.\n14. Mereka gelisah seperti cacing kepanasan.\n15. Mereka sering bergaduh seperti anjing dengan kucing.\n16.\u00a0 Dia kedekut seperti tangkai jering.\nDalam ayat 13, kata seperti ialah kata hubung kerana peribahasa seperti rusa masuk kampung mempunyai subjek rusa dan predikat masuk kampung.\nDalam ayat 14, kata seperti ialah kata hubung kerana peribahasa seperti cacing kepanasan mempunyai subjek cacing dan predikat kepanasan.\nDalam ayat 15, kata seperti ialah kata hubung kerana kata kerja bergaduh dalam klausa keterangan anjing bergaduh dengan kucing telah digugurkan. Oleh itu, subjek dalam klausa keterangan itu ialah anjing (frasa nama) dan predikatnya ialah bergaduh dengan kucing (frasa kerja).\nWalau bagaimanapun, dalam ayat 16, kata seperti ialah kata sendi nama kerana tangkai jering hanya merupakan frasa nama." "Air Tangan Opah yang Menggamit Nostalgia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMenyambut kejayaan menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan diterjemahkan dalam suasana hari raya yang sememangnya meriah di Malaysia dengan amalan kunjung-mengunjung sanak-saudara, menziarahi pusara ayah bonda dan menikmati juadah yang lazat merupakan tradisi turun-temurun.\nDalam hal ini juga, rendang tok merupakan hidangan istimewa masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman terutamanya menjelang 1 Syawal yang meninggalkan 1001 nostalgia.\nHal yang demikian dikongsikan oleh Dr. Nursiha Alias yang menyifatkan rendang tok meninggalkan nostalgia yang cukup manis untuk dikenang kerana semangat berpasukan dan kerjasama yang diterapkan dalam proses menyediakan rendang tok yang juga mampu menyatukan hubungan ahli keluarga.\n\u201cSebut saja rendang tok, terbayang wajah opah. Banyak kenangan bersama-samanya terutamanya ketika menyediakan rendang citarasa unik, dan aromanya semerbak harum kerana air tangan opah sedap sehingga tidak terkata malah digemari ramai,\u201d kongsinya.\n\u201cOpah seorang yang amat teliti, dia akan pantau segala kerja kita. Pantang silap sedikit, tahan telingalah dengar leteran opah, tetapi berbaloi kerana keenakan rendang opah tiada gantinya sampai bila-bila,\u201d ujar pensyarah di Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), UUM.\nProses pembuatan rendang tok pada hakikatnya agak renyah dan mengambil masa yang panjang dari pagi hingga ke petang untuk disiapkan dan memerlukan tenaga kerja yang ramai.\nMenurutnya, \u201cKami adik-beradik, sepupu dan ibu saudara diberikan tugas memotong bawang yang banyak sehingga terjadilah drama air mata. Ada yang sampai basuh mata dengan air berkali-kali malah ada yang berhenti sebab mata sudah tidak boleh celik menahan pedih.\u201c\n\u201cSelain bawang, banyak lagi yang perlu dipotong seperti lengkuas, cabai kering, daging dipotong dalam saiz yang besar dan untuk memastikan rendang cukup lemaknya banyak menggunakan santan,\u201d ceritanya.\nWaktu dulu, tidak ada mesin kelapa. Jadi, perlulah kukur kelapa dan perah santan sampai sakit pinggang.\nMenurut Dr. Nursiha, rendang dimasak di dalam kuali tembaga yang berat kemudian diletakkan di atas tungku yang disusun bata dan diletakkan kayu api, arang atau tempurung kelapa sehingga naik aroma yang menyelerakan.\n\u201cKacau rendang perlu dipantau selalu agar tidak hangit dan berkerak dan kami kipas dengan tudung periuk beramai-ramai secara bergilir-gilir dari pagi hingga petang. Sebaik-baik sahaja masak, opah akan ambil sedikit untuk dijadikan juadah berbuka puasa.\nMengenang kembali zaman ketika beliau masih muda, Dr. Nursiha berkata, \u201cKehidupan dahulu tak mewah. Jadi, kalau nak makan rendang tok, kena tunggu hari raya. Setiap ahli keluarga hanya boleh dapat seketul daging dan selebihnya untuk para tamu yang bertandang.\u201c\nBeliau turut menceritakan mengenai ibu saudaranya yang terkena demam campak ketika hari raya. Katanya, \u201cOrang dulu apabila demam campak, kena pantang makan daging atau ayam agar cepat sembuh. Akan tetapi, demi menjamah rendang tok, pantang larang tersebut sanggup dilanggar.\u201c\n\u201cGelak ketawa, usik mengusik dan leteran opah apabila kami tersilap sangat indah. Kami semua gembira kerana tahu opah guru yang baik untuk mengajar kami dan di sebalik\u00a0 tunjuk ajarny,a tersirat hikmah yang cukup besar sebagai bekalan pada masa hadapan,\u201d katanya.\nSemua itu tinggal kenangan manis. Opah sudah tiada tetapi kasih sayang opah segar dalam ingatan. Sayangnya, tiada siapa-siapa yang mewarisi pembuatan rendang tok cara opah. Semoga roh opah bahagia di sana." "Lemang \u201cWarna-warni\u201c Hidangan Istimewa Sambutan Aidilfitri Kampung Seberang Ramai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Perlis \u2013 Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini disambut meriah di seluruh dunia, termasuklah di Kampung Nelayan Warna-warni, Program Transformasi Diraja Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis yang meraikannya dalam satu majlis meriah baru-baru ini.\nMajlis sambutan Aidilfitri tersebut turut dimeriahkan dengan sajian istimewa, Lemang \u201cWarna-warni\u201c yang disediakan sebagai hidangan seri majlis berkenaan.\nRaja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menerima undangan Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran komuniti Kampung Seberang Ramai.\n\u201cLemang \u2018Warna-warni\u2019 yang disajikan adalah signifikan kepada pelaksanaan Projek Diraja Program Transformasi Kampung Seberang Ramai yang dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis (YTSP) dengan kerjasama pelbagai agensi negeri dan persekutuan serta swasta dan masyarakat setempat,\u201c demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.\nKatanya, \u201cKeistimewaan Lemang \u2018Warna-warni\u2019 adalah pada warnanya yang menarik selain mengekalkan resipi tradisi sajian lemang yang dihidangkan bersama-sama rendang dan serunding.\u201c\nTambah beliau lagi, lemang tersebut menjadi lebih istimewa kerana disediakan oleh warga asnaf di bawah bimbingan MAIPs yang mengekalkan cita rasa asli lemang dengan aroma yang memikat.\nMajlis Sambutan Aidilfitri anjuran komuniti Kampung Seberang Ramai dihadiri lebih 300 penduduk tempatan dan turut disertai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Panglima Markas 30 Briged Infantri Tentera Darat Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Zaki Abu." "Iszuan Ismail Pelukis Aliran Abstrak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMinat seninya bermula sejak dari kecil lagi. Manakan tidak, bapanya ialah seorang pelukis dan lukisan merupakan perkara yang dilihatnya setiap hari. Oleh itu, Iszuan Ismail Baba tidak kekok apabila berbicara tentang seni lukis dan minatnya mekar sepanjang masa.\nMenurut Iszuan, sejak kecil lagi bapanya sering mendedahkan dirinya dengan lukisan dan dia sendiri pernah memenangi pertandingan mewarna ketika berusia empat tahun. Kemenangan tersebut menjadi pemangkin buat dirinya untuk terus maju dalam bidang seni lukis.\nApabila menginjak dewasa, Iszuan menyambung pengajian dalam bidang multimedia grafik di Institut Kemahiran Ikhtisas Pahang dan setelah menamatkan pengajian, Iszuan mula bekerja sebagai\u00a0 pereka grafik di beberapa syarikat periklanan serta hotel. Kini, dengan pengalaman lebih 15 tahun, Iszuan bertugas sebagai pembantu kurator di Galeri Shah Alam, Selangor.\nSungguhpun demikian, Iszuan tetap aktif berkarya kerana perkara tersebut merupakan minat yang sukar untuk diketepikan. Justeru itu, jika ada masa terluang, Iszuan akan terus melukis dan menyertai pelbagai pameran yang diadakan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.\nBercerita tentang tugasnya sebagai penolong kurator, Iszuan menyatakan bahawa dia bertindak sebagai orang perantara antara seniman dengan pengurusan galeri. Selain itu, Iszuan juga akan berurusan dengan pelajar, pengkaji, pengkritik serta media. Menjadi orang tengah membolehkan dirinya bergaul dengan pelbagai peringkat masyarakat dan memberikan pengalaman baharu buat dirinya.\n\u201cSaya menjadi pemudah cara antara pihak yang berminat dengan seni seperti pelukis dan pelajar dengan pihak pengurusan Galeri Shah Alam. Semuanya perlu ditangani satu per satu dan setiap kali selesai berurusan, saya akan berasa puas kerana berjaya membantu pihak yang berkenaan,\u201d kata Iszuan.\nSelain itu, tugas di galeri membolehkan dia merancang pelbagai perkara berkaitan dengan sesuatu pameran seperti konsep, tema, susun atur, bahan pameran, poster, penulisan, promosi serta perkara berkaitan dengan jemputan dan protokol.\nSemua perkara ini perlu dilihat secara teliti kerana jika tidak, sesebuah pameran itu akan menjadi kucar-kacir dan tidak memberikan impak buat khalayak yang datang menyaksikannya.\nDi Galeri Shah Alam sendiri terdapat pelbagai pameran yang telah dirancang sepanjang tahun. Antara aktiviti yang menjadi tumpuan peminat seni lukis tanah air ialah Pameran Terbuka Galeri Shah Alam. Pameran ini menjadi medan mengasah bakat buat penggiat muda untuk mengetengahkan hasil karya mereka. Melalui pameran ini juga, banyak bakat baharu yang berjaya dicungkil dan mereka kini menjadi antara seniman mapan dalam dunia seni lukis tanah air.\nBerbalik kepada minatnya dalam dunia seni lukis, Iszuan menyatakan bahawa seniman legenda tanah air, iaitu Dato\u2019 Syed Ahmad Jamal adalah antara pelukis kegemaranya. Hal ini dikatakan demikian kerana karya yang dihasilkan oleh beliau begitu hebat dan memukau. Selain itu, Iszuan juga meminati karya lukisan Awang Damit dan Ibrahim Hussein manakala pelukis antarabangsa yang menjadi rujukannya ialah Willem De Kooning, Jackson Pollock dan Mark Rothko.\nDisebabkan pengaruh pelukis inilah menyebabkan Iszuan menghasilkan karya-karyanya dalam bentuk abstrak. Lukisan abstrak ialah lukisan yang berbentuk luahan ekspresi yang menekankan kepada warna, jalinan, tekstur, garisan, bentuk, pengulangan tanpa sebarang imej dan juga satu bentuk pembebasan kerana tidak terikat untuk menghasilkan sebarang objek.\nIszuan juga turut bereksperimen terhadap pelbagai bahan seperti daun kering, serpihan kayu, ranting, butiran pasir, arang, akrilik, cat air atau minyak. Kesemua bahan ini diadun untuk menghasilkan warna dan tekstur \u201cterkini\u201d agar sesuai dengan tahun karya itu dihasilkan. Setelah itu, proses melukis akan berlaku sehingga kepada titik akhir dan seterusnya terciptalah sebuah karya.\nSungguhpun karya Iszuan berbentuk abstrak tetapi ilham dan inspirasinya terdiri daripada pelbagai sumber dan tempat. Antara tempat yang telah beliau kunjungi ialah Tasik Chini, Pahang. Di sini, Iszuan mendapat ilham daripada kepelbagaian flora dan fauna serta keindahan tasiknya yang masih terpelihara. Kesemua memori ini diterjemahkan di atas kanvas dan kemudian dipamerkan agar keindahanya dapat dikongsikan dengan khalayak umum.\nIszuan juga pernah menyertai ziarah seni di Sa Pa, sebuah daerah terpencil di Vietnam. Dalam kunjungan tersebut, Iszuan dapat melihat keindahan kawasan pergunungan yang menawan serta penduduk tempatannya juga sangat ramah dan dipenuhi dengan kepelbagaian budayanya. Ziarah seni ini mematangkannya dari pelbagai sudut, antaranya adalah sentiasa bersifat terbuka terhadap kepelbagaian gaya dalam menghasilkan sesebuah hasil seni.\nKetika pandemik COVID-19 melanda dunia, Iszuan mengambil peluang untuk terus menajamkan lagi kemahiranya dalam aspek berkarya. Jika sebelum ini semua aktiviti seni berlaku secara fizikal, kini dia beralih ke bentuk digital. Justeru itu, kepekaan serta pengetahuan berkaitan komputer dan teknologi perlu dipertingkatkan agar selari dengan peredaran zaman.\nAktiviti seni kini dilakukan secara dalam talian ataupun hibrid yang membuka satu lembaran baharu buat dunia seni lukis tempatan dan juga antarabangsa. Jika dahulu pengunjung yang datang menyaksikan sesebuah pameran itu terhad kepada mereka yang hadir secara fizikal, kini telah berubah apabi;a khalayak boleh berada di mana-mana sahaja dan merentasi sempadan negara. Perkara ini adalah satu potensi baharu yang belum pernah diteroka dan akan menjadi satu kelaziman pada masa akan datang.\nPenulis merupakan Dekan Fakulti Animasi dan Multimedia, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA)." "Lagu Cinta Sampai Mati Popular di Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Menjelang Syaaban dan Ramadan yang lalu hingga sekarang, sebahagian daripada lirik lagu ini tular di media sosial ekoran warga internet menggunakannya pada hantaran atau ulasan dalam akaun Facebook masing-masing mengenai isu peribadi, atau umum yang boleh dikaitkan.\nSaya sendiri pada mulanya tidak mengetahui apa-apa mengenai lirik tersebut yang berbunyi, \u201cDengarkanlah di sepanjang malam aku berdoa .\u201d. Soalan rakan kepada saya juga tidak dapat dijawab, dan pertanyaan saya sendiri tanpa sebarang jawapan.\nRupa-rupanya bait teresebut merupakan sebahagian daripada lirik lagu berunsur ketuhanan, Cinta Sampai Mati dendangan Raffa Affar, anak muda kelahiran Depok, Jawa Barat, Indonesia. Raffa atau nama sebenarnya, Raffa Aldiansyah merupakan selebriti muda yang berjaya di media sosial kerana dapat menarik lebih empat juta orang pengikut di aplikasi TikTok. Justeru, namanya kian terkenal dalam kalangan masyarakat Malaysia, apatah lagi di Indonesia menerusi lagu tunggal ini.\nCinta Sampai Mati, hasil ciptaan sepenuhnya Ayu Rizki Yani, isteri kepada Dodhy, pemain gitar kumpulan Kangen Band, yang dilancarkan di bawah label muzik Hayat Kreatif Studio untuk pasaran Malaysia, Brunei dan Singapura sahaja. Untuk pasaran di Indonesia dan negara-negara lain, lagu ini dilancarkan di bawah label muzik Botram Media Entertainment.\n\u201cSaya mengaku sudah lama ingin mempunyai lagu tunggal asli sendiri. Hasrat ini menjadi kenyataan menerusi Cinta Sampai Mati,\u201d kata Raffa yang memang berharap lagu ini disukai ramai.\nRaffa yang dikenali dengan suara unik dan wajah kacak ialah penyanyi yang membawakan genre lagu berkonsepkan ketuhanan, mahupun selawat serta nasyid. Selain membawa genrenye tersendiri, Raffa suka menyanyikan semula lagu lain yang popular untuk dimuatkan dalam akaun media sosialnya.\nPada asalnya, lagu tunggal ini diberi judul Dengarkanlah oleh Ayu Rizki, sebelum Botram Media Entertainment mengambil keputusan memilih judul yang lebih sejagat, agar mesejnya yang mempunyai maksud cinta kepada kedua-dua ibu bapa (yang masih ada mahupun yang telah tiada), keluarga, dan pasangan dapat sampai ke sasaran.\n\u201cMaka itu, terciptalah judul baharu yang mempunyai lirik baharu dalam lagu tunggal ini. Oleh itu, menjelang pelancarannya, tajuk lagu ini menjadi Cinta Sampai Mati,\u201d jelas Raffa.\nCinta Sampai Mati terbitan Hermawan dan John Li sebagai penerbit eksekutif ini antara lagu tunggal pertama kolaborasi Hayat Kreatif Studio dengan Botram Media Entertaintment. Untuk lagu tunggal pertamanya ini, Raffa telah cuba menghasilkan genre muzik yang sedikit berbeza daripada lagu-lagu tular. Justeru, beliau mengambil Ivan Lahardika sebagai Pengarah Vokal dan Yuki Senandika pula sebagai penyanyi latar.\nDengan harapan kehadiran Raffa yang baru berusia 20 tahun mampu memberikan nuansa \u00a0baharu, Cinta Sampai Mati nyanyian asalnya ini boleh didengari di seluruh pelantar muzik. Video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube Hayat Kreatif Studio.\nHak cipta Cinta Sampai Mati dipegang oleh OP: PT Safinah Musik Entertaintment/SP: Hayat Kreatif Studio. Pengedarannya diuruskan oleh Hayat Kreatif Studio sendiri secara jualan digital di pelantar penstriman, YouTube dan iTunes di Malaysia, Singapura, dan Brunei." "Pertandingan Panjut 2.0 Kekalkan Tradisi Kemeriahan Malam Raya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nFoto ihsan Pejabat Parlimen Kuala Kangsar\nKuala Kangsar \u2013 Pintu Gerbang Kampung Kepala Bendang dinobatkan sebagai johan Pertandingan Panjut 2022 atau Pertandingan Panjut 2.0 pada 29 April 2022 yang lalu, dan membawa pulang wang hadiah kemenangan sebanyak RM5000 serta sijil penghargaan.\nPertandingan panjut antara kampung peringkat Parlimen Kuala Kangsar itu anjuran Pejabat Parlimen kawasan berkenaan dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Kuala Kangsar dan Persatuan Muafakat Anak Jati Kuala Kangsar (GEMUDA).\nPadang Changkat meraih gelaran naib johan dengan hadiah wang tunai RM3000, sementara Sayong Lembah pula memenangi tempat ketiga yang menerima hadiah bernilai RM2000. Sayong Tengah pula mendapat tempat keempat dengan hadiah RM1000.\nPemenang tempat kelima sehingga tempat ke-12 yang masing-masing menerima hadiah wang tunai RM500 ialah Sungai Siput, Taman Kelisa Sayong, Bukit Chandan, Talang Hulu (Bendang), Talang Hulu Mabeles Caf\u00e9, Bukit Lada, Ulu Piol dan Harun Pottery Kepala Bendang.\nMenurut Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd. Yazid, Pertandingan Panjut 2.0 itu bertujuan mengimbau nostalgia serta menghidupkan semula tradisi masyarakat Melayu di daerah Kuala Kangsar yang dahulunya menghiasi kawasan kampung dengan nyalaan lampu pelita.\nDipanggil juga Pertandingan Panjut 2.0 kerana pertandingan ini telah dimulakan pada tahun 2021. Jelas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) itu lagi, beliau mengambil keputusan mengadakan pertandingan berkenaan bermula pada tahun lalu secara besar-besaran membabitkan seluruh penduduk kampung berikutan tradisi berkenaan dilihat semakin pupus dan mungkin dilupakan. Sebanyak 14 buah kampung mengambil bahagian. Walau bagaimanapun, dua buah kampung menarik diri pada saat-saat terakhir.\nDengan menyertai Pertandingan Panjut 2.0 itu, penduduk kampung yang terlibat dapat mempamerkan bakat, warna dan kasih sayang mereka melibatkan semua peringkat umur. Selain itu, pertandingan sedemikian diharap dapat mengeratkan lagi silaturahim antara penduduk kampung, sekali gus mempamerkan keunikan yang ada di Kuala Kangsar. Justeru, Mastura berpendapat tradisi tersebut perlu terus dipertahan sampai bila-bila.\nSetiap penyertaan turut diberikan sijil penghargaan, dengan syarat penyertaan terbuka kepada seluruh kampung dalam Parlimen Kuala Kangsar serta lokasi tapak panjut mestilah di kawasan lapang dan di laluan utama dengan mengambil kira faktor keselamatan dan penjarakan fizikal." "Kenali Seniman dan Biduanita Negara dalam Pameran \u201cP. Ramlee dan Saloma: Aku, Dia dan Lagu\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarhamah Puan Sri Saloma merupakan dua tokoh seni yang cukup terkenal dan ikonik dalam bidang seni perfileman dan muzik negara kita. Hingga kini, filem-filem lakonan mereka masih ditayangkan di kaca televisyen dan masyarakat tidak pernah jemu menontonnya berulang-ulang kali. Filem tersebut boleh dikatakan malar segar sepanjang zaman. Atas faktor tersebut, pusat beli-belah, Fahrenheit88 dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia membawakan pameran khas \u201cP. Ramlee dan Saloma: Aku, Dia dan Lagu\u201d bersempena dengan kempen \u201cRaya Melodies\u201d.\nPameran khas tersebut yang pada mulanya dijadualkan hanya berlangsung dari 14 April 2022 hingga 16 Mei 2022 telah dilanjutkan hingga 31 Julai 2022 disebabkan oleh sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai. Keluarga Malaysia boleh mengunjungi pameran tersebut sepanjang tarikh tersebut bermula dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam di tingkat dua, Pusat Beli-belah Fahrenheit88 Exhibition Hall, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.\nPusat Beli-belah Fahrenheit88 memilih Arkib Negara Malaysia sebagai rakan strategik kerjasama kerana jabatan ini bertanggungjawab menyimpan, memelihara dan mempamerkan koleksi artifak milik Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarhamah Puan Sri Saloma di Pustaka Peringatan P.Ramlee, Kuala Lumpur dan Rumah Kelahiran P. Ramlee di Pulau Pinang.\nPameran khas ini mempamerkan pelbagai koleksi terpilih milik seniman agung dan biduanita negara tersebut serta barangan peribadi mereka yang jarang-jarang dipamerkan kepada khalayak umum. Antara barangan tersebut termasuklah busana yang digunakan oleh P. Ramlee dalam beberapa lakonan beliau, koleksi pakaian peribadi Saloma, mesin taip P. Ramlee yang digunakan untuk menulis lirik, nota tulisan asal, kamera, alatan muzik dan replika beca yang digunakan dalam filem pertama arahan beliau, Penarik Becha.\nPara pengunjung sudah pastinya berasa teruja dapat melihat secara lebih dekat barangan peribadi milik seniman dan biduanita negara tersebut selain info berkaitan dengannya jika mengunjungi pameran tersebut. Pameran ini sewajarnya diteruskan dari semasa ke semasa di seluruh negara dalam usaha memperkenalkan kedua-dua tokoh tersebut kepada masyarakat Malaysia terutamanya generasi muda." "Haziq AF Mahu Tandak Lebaran Popular, Malar Segar Sepanjang Zaman\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBandar Melaka \u2013 Baik sebelum atau semasa meraikan Syawal, masih sesuai dan wajar jika mana-mana karyawan menampilkan lagu baharu untuk memeriahkan sambutannya, sebagaimana kata baris-baris akhir lirik lagu Indahnya Beraya di Desa nyanyian Azlina Aziz yang berbunyi, \u201ckesibukan kerja bukannya alasan, kita beraya selama sebulan\u201d. Justeru, tiada salahnya lagu Tandak Lebaran diterbitkan ketika ini kerana Syawal masih diraikan.\nRamai peminat seni suara tanah air tahu bahawa Haziq Akademi Fantasia (AF), 34 tahun, dianggap kembar seiras dengan penyanyi legenda Allahyarham Datuk Ahmad Jais dari segi vokal. Pada tahun 2006, bakat dan kebolehan Haziq telah melayakkan beliau menjadi antara 12 orang pelajar AF musim keempat.\nUntuk kesinambungan kerjaya Haziq, pihak produksi telah memilih beliau sebagai penyanyi Tandak Lebaran ini yang juga bertujuan memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri 1443 Hijrah setelah pandemik COVID-19 menghalang sambutan selama dua tahun sebelumnya.\nDi samping Tandak Lebaran sebagai lagu tunggal Syawal beliau yang terbaharu, Haziq memang giat membuat persembahan untuk majlis makan malam dan majlis resepsi perkahwinan. Oleh sebab masih ada yang meminati lagu irama tradisional di TikTok, jelas Haziq, beliau juga giat menghasilkan video di aplikasi media sosial tersebut.\nNyanyian Haziq untuk lagu tunggal yang judulnya puitis ini turut \u201cdicantikkan\u201d oleh suara seorang guru seni muzik di sebuah sekolah rendah di utara Semenanjung, iaitu Cikgu Meera atau lebih mesra dengan panggilan Meera.\nTiada salah dan cacatnya kerana Meera ada pengalaman bergiat dengan rancak dalam bidang seni suara sejak zaman persekolahan lagi. Anak jati Kedah ini memang ada kebolehan dalam nyanyian, serta pernah menyertai pertandingan syair antarabangsa di Indonesia, dan secara langsung dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perak.\nMenurut Meera, beliau gembira mendapat tawaran merakamkan Tandak Lebaran, apatah lagi bergandingan dengan Haziq walaupun rasa tercabar kerana perlu turun ke Melaka dari Kedah.\n\u201cNamun begitu, semuanya berjalan lancar. Tambahan pula, Haziq seorang yang periang,\u201d jelas Meera, 30 tahun, mengenai lagu yang melodinya ciptaan Fauzi Mohammad ini.\nSebenarnya, Fauzi juga seorang pemuzik hebat dari Melaka. Beliau bertugas sebagai pemuzik di Briged Seni Melaka. Dengan kebolehan bermain pelbagai alat muzik, Fauzi menggunakan kelebihan tersebut untuk mencipta lagu berirama tradisional Melayu.\nSebelum ini, Fauzi juga merupakan komposer lagu Senandung Anak Melaka, nyanyian Yasser Fikri, dan Tambatan Jiwa (Khaliza Putri/Nabila). Siso Kopratasa yang seperti kita semua tahu banyak menulis lirik lagu Raya diberikan tanggungjawab menulis lirik Tandak Lebaran.\n\u201cOlahan lirik lagu ini agak berbeza sedikit kerana saya memasukkan suasana pandemik, endemik dan ekonomi negara semasa dalam penceritaannya. Terdapat juga unsur nasihat secara am untuk kita semua bagi menyambut Syawal tahun ini,\u201d jelas Siso mengenai lirik Tandak Lebaran.\nSementara itu, Haziq mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak produksi kerana telah memberikan peluang dan sepenuh kepercayaan kepadanya untuk lagu tunggal Hari Raya Aidilfitri ini bersama-sama Meera.\n\u201cSaya berharap Tandak Lebaran terus malar segar dan menjadi siulan, serta bualan orang ramai. Saya tidak mahu lagu ini hanya terkenal setahun atau dua tahun sahaja, sebaliknya popular sepanjang masa. Saya turut mendoakan agar lagu ini bermanfaat kepada semua pendengar,\u201d kata Haziq.\nVideo muzik Tandak Lebaran telah dilancarkan di saluran YouTube Buana Rama Records untuk ditonton orang ramai pada musim perayaan ini, dan secara jualan digital di pelantar penstriman dan iTunes. Hak cipta Tandak Lebaran dipegang oleh Luncai Emas Sdn. Bhd., sementara edarannya di bawah label Buana Rama Records.\nSemoga lagu ini dapat menyentuh hati peminat di seluruh Malaysia, dan menarik perhatian generasi baharu dalam kemeriahan kita menyambut Syawal pada tahun ini." "Pertemuan DBP-KPN: Usaha Mencapai Perpaduan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2012 \u201cSejak tahun 2020, negara kita telah melancarkan Dasar Perpaduan Negara yang membawa slogan \u2018Perpaduan dalam Kepelbagaian\u2019. Dalam pelan tindakan ini, ada digariskan peranan bahasa dalam mencapai perpaduan negara.\u201d\nMahu tidak mahu, semua pihak perlu mengakui bahawa bahasa merupakan satu daripada alat perpaduan negara.\nDemikian menurut Ketua Setiausaha, Kementerian Perpaduan Negara (KPN), YBhg. Dato\u2019 Indera Noridah Ibrahim ketika sesi kunjungan hormat Dewan Bahasa dan Pustaka kepada beliau di Kompleks Kerajaan Parcel F, Putrajaya, petang semalam.\nKunjungan hormat tersebut diadakan bertujuan untuk menjalinkan kerjasama antara DBP dengan KPN dalam usaha memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu seiring dengan usaha kerajaan Malaysia mencapai perpaduan yang jitu dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum.\nPada sesi kunjungan hormat yang dihadiri oleh Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, beliau berkata, \u201cBanyak tindakan dan usaha yang boleh dilaksanakan untuk kita mencapai perpaduan negara melalui pemantapan fungsi bahasa. Dalam hal ini, apa-apa yang penting, kita perlu mencari dan menggunakan kaedah yang terbaik untuk mendekati masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum serta lapisan umur yang berbagai-bagai.\u201d\nTambah beliau, \u201cKita perlu bekerjasama untuk menganjurkan program yang lebih bersifat santai, seperti melalui acara kebudayaan dan aktiviti sukan. Sebagai contohnya, kita anjurkan aktiviti deklamasi puisi perpaduan dan membawakan sambutan Hari Gawai dan Pesta Keamatan ke Semenanjung Malaysia \u2012 melalui kerjasama DBP dan KPN.\u201d\nYBhg. Datuk Abang Sallehuddin turut menyatakan, \u201cDalam ledakan arus globalisasi dan pendigitalan khususnya di negara ini, kita seharusnya bijak mengambil peluang untuk mendekati masyarakat dalam merangka agenda perpaduan negara, antaranya melalui penghasilan video pendek mengikut trend terkini masyarakat.\u201d\nPada sesi kunjungan hormat tersebut, Setiausaha Bahagian Dasar dan Perhubungan Antarabangsa, Encik Mohd Sobri Mat Daud turut membentangkan maklumat korporat KPN serta usaha yang telah dijalankan oleh kementerian ini sejak ditubuhkan pada 20 Mac 2020. Antaranya, beliau menjelaskan pengenai perkhidmatan teras kementerian ini yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kesepaduan masyarakat dan kesejahteraan komuniti; pendidikan awal kanak-kanak Tabika Perpaduan; penghayatan pendidikan rukun negara; keharmonian antara agama; kolaborasi strategik; pembangunan sosioekonomi masyarakat India; dan pembangunan Kampung Baru Cina.\nYang turut hadir dalam sesi kunjungan hormat tersebut ialah pengurusan tertinggi dan pengurusan DBP yang terdiri daripada Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Dr. Abang Patdeli Abang Muhi; Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Puan Roziah Md Yunus; Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, Encik Saifullizan Yahaya; Ketua Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar; Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Encik Mohd Fadzli Tajuid; pihak pengurusan KPN; serta karyawan DBP dari Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum dan Bahagian Majalah." "Malaysia Sedia Terima dan Sambut \u00a0Pengembara Pelayaran \u2013 Tourism Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Malaysia telah bersedia untuk menerima pengembara pelayaran antarabangsa susulan pembukaan penuh sempadan negara, sempena penyertaan Tourism Malaysia di Ekspo Seatrade Cruise Global 2022 pada 25 hingga 28 April yang lalu di Miami. Tourism Malaysia dalam kenyataan media yang dikeluarkan juga menyatakan langkah ini adalah sebahagian daripada usaha Malaysia mempromosikan pelancongan pelayaran serta menarik lebih ramai pengusaha kapal untuk berlabuh di negara kita.\nPenyertaan Tourism Malaysia dalam ekspo tersebut adalah bertujuan untuk membina jaringan hubungan dan memenuhi janji temu perniagaan dengan Persatuan Industri Perjalanan Florida (TIA), persatuan-persatuan pelancongan kebangsaan ASEAN serta pemain industri perjalanan pelayaran serta wawancara dengan media tempatan di Amerika Syarikat mengenai produk dan destinasi menarik pelancongan Malaysia.\n\u201cMalaysia mempromosi acara tepi lautnya, kemudahan pelabuhan seperti pelabuhan persinggahan dan pelabuhan asal serta lawatan prapelayaran dan pascapelayaran yang memperlihatkan pengembara dapat merasai sendiri kepelbagaian budaya dan biodiversity sama ada di darat mahu pun lautan,\u201d menurut kenyataan media itu lagi.\nDalam kenyataakn media tersebut, Naib Presiden Tourism Malaysia di Los Angeles, Akbal Setia juga berkata, \u201cKita telah kembali kepada kebiasaan perjalanan dan ini ialah masa yang tepat untuk pihak kami mempromosikan persatuan dan kerjasama khususnya Malaysia sebagai hab menaiki kapal untuk pengembara pelayaran ke Asia dan rantau Asia Tenggara.\u201d" "Filem Mat Kilau Ditayangkan pada 23 Jun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Akhirnya, filem yang amat ditunggu-tunggu sejak beberapa tahun lalu, Mat Kilau akan menemui penonton tidak lama lagi. Setelah tertunda agak lama lantaran penularan pandemik COVID-19, filem biografi epik ini akan ditayangkan di 90 buah pawagam di seluruh negara bermula 23 Jun 2022 nanti.\nSebagai antara promosi menjelang tarikh tersebut, poster rasmi Mat Kilau telah dipamerkan sejak 13 Mei 2022 lalu di semua laman sosial. Treler rasminya pula akan ditontonkan kepada khalayak pada 16 Jun 2022 nanti.\nKata peribahasa, \u201charimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama\u201d. Demikianlah yang akan disaksikan oleh penonton menerusi karya terbaharu pengarah prolifik, Syamsul Yusof. Mat Kilau, terbitan Studio Kembara ini sebuah filem yang mengangkat sejarah penting negara.\n\nLatar perjuangan Mat Kilau disifatkan sebagai amat berharga kerana tidak hanya untuk mencatat rekod dalam dunia hiburan tanah air, malah mahu berkongsi dengan generasi masa kini mengenai kehebatan dan jati diri pahlawan tersebut dalam mempertahankan negara.\nAktor yang terkenal dengan watak Jai dalam filem KL Gangster (2011), dan KL Gangster 2 (2013), Dato\u2019 Adi Putra dipilih menghidupkan watak berdarah pahlawan Mat Kilau Imam Rasu, atau lebih dikenali sebagai Mat Kilau.\nBeliau kemudian dibantu oleh barisan pelakon yang hebat serta berwibawa seperti Wan Hanafi Su sebagai Tok Gajah (ayah Mat Kilau), Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang), Johan As\u2019ari (Yassin), dan aktor aksi lasak handalan Indonesia, Yayan Ruhian (Toga).\nFilem yang mengisahkan pahlawan Melayu dari Pahang, Mat Kilau bersama-sama ayahnya, Tok Gajah dan sahabat-sahabat, bangkit menentang penjajahan British ini turut diperkuat oleh barisan aktor dan aktres terbaik tanah air seperti Dato\u2019 Jalaluddin Hassan (Haji Muhammad), Dato\u2019 Rahim Razali (Imam Bottoqh), Namron (Haji Sulong), Shaharuddin Thamby (Datuk Bahaman) dan Ellie Suriaty (ibu Yassin).\nDengan kos pembiayaan sebanyak RM8.0 juta, Mat Kilau menjalani penggambaran selama 100 hari dengan sebahagian daripadanya di Perak, serta beberapa buah lokasi lain, termasuk Melaka, Selangor dan Pahang sendiri.\nPenerbitnya, Shahruddin Dali berharap semua rakyat Malaysia menonton Mat Kilau dan terhibur. Katanya, filem ini akan membawa kita kembali ke zaman pahlawan handalan tersebut, merasai kepayahan, keberanian, pengorbanan dan jiwa kepahlawanan Mat Kilau dalam memperjuang kedaulatan tanah air kita. Tambah beliau, fileh ini ialah gambaran sebuah sejarah yang sangat memberikan inspirasi.\nLatar masa Mat Kilau ialah suasana tahun 1892 ketika pihak kolonial British telah menawan tanah-tanah di Pahang, serta mengaut hasil bumi negeri tersebut yang dimiliki orang-orang Melayu. Tidak cukup dengan itu, British mencampuri urusan adat, dan agama orang Melayu.\nTidak rela membiarkan kebiadaban British di Pahang terus berleluasa, Mat Kilau bersama-sama Tok Gajah dan sahabat-sahabatnya bangkit menentang kuasa penjajah tersebut.\nMat Kilau dan Tok Gajah ternyata bijaksana dalam merancang penentangan. Akibatnya, British tertekan, dan mengalami kerugian sehingga berlakunya pertempuran sengit.\nFilem aksi lasak tanpa henti ini, yang menyaksikan pengorbanan, keberanian, dan kesatuan pahlawan-pahlawan Melayu membebaskan tanah air tercinta wajar, serta berbaloi ditonton oleh rakyat Malaysia, apatah lagi yang kuat patriotismenya." "Perkataan \u201cDating\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nSaya musykil tentang perkataan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, sama ada boleh ataupun tidak boleh digunakan dalam penulisan karangan untuk peperiksaan.\u00a0 Misalnya, perkataan \u201cdating\u201c. Bolehkah perkataan itu digunakan?\n\u00a0Daripada: \nMuhammad Mohd. Idris,\nKuala Rompin, Pahang." "Arkib Negara: Aksara Kedaulatan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKetika mengambil keputusan untuk menyertai Arkib Negara Malaysia dua dekad yang lalu, saya telah didedahkan dengan pelbagai maklumat dan sumber serta kerja-kerja lapangan penyelidikan di institusi ini. Mungkin bagi anda di luar sana, arkib hanyalah sebuah tempat yang menyimpan segala khazanah dokumen dan fail berkaitan dengan kerajaan dan sudah pastilah pihak tertentu sahaja yang memahami dan mengambil berat perkara berkaitan dengan arkib, manakala yang lain lebih selesa melayari media sosial sambil meneliti apa-apa yang diperbahaskan oleh khalayak sohor kini.\nDemikianlah saya dan rakan-rakan saya di arkib. Kami tidaklah sepopular agensi yang sebumbung dengan kami di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia kerana sifat arkib itu sendiri yang difahami oleh umum adalah sebagai urusan rasmi. Istilah urusan rasmi ini sudah pasti memberikan manifestasi jurang antara bidang arkib dan masyarakat umum.\nNamun begitu, sejak sedekad belakangan ini, arkib sudah mesra dengan masyarakat umum dan kehadiran arkib bukan hanya untuk memantau dan mengendalikan rekod kerajaan sahaja, tetapi pendekatan program yang bersifat lebih santai dan mesra pelanggan. Arkib juga telah membuka ruang untuk masyarakat lebih memahami arkib, dan sesetengah pihak mula menyedari arkib kini adalah sebahagian daripada nadi kehidupan mereka.\nUntuk makluman, Arkib Negara Malaysia telah ditubuhkan pada 1 Disember 1957 sebagai Pejabat Rekod Awam. Kemudian dikenali sebagai Arkib negara Malaysia pada tahun 1963. Pada tahun 1966, Akta Arkib Negara No. 44 telah diluluskan oleh Parlimen Malaysia. Pada tahun itu juga, bangunan Arkib Negara Malaysia di Petaling Jaya, Selangor telah dirasmikan manakala pada tahun 1982, bangunan baharu Arkib Negara Malaysia telah berpindah di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Pada tahun 2003, Akta Arkib Negara 2003 (Akta 629) telah diluluskan dan selanjutnya pada 2004, Arkib Negara Malaysia telah diletakkan di bawah pemantauan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia.\nSejarah di sebalik penubuhan institusi ini sudah pasti merujuk pengurusan rekod pentadbiran kerajaan yang mematuhi MS ISO 9001:2015. Wawasan arkib sebagai peneraju pengurusan rekod dan pentadbiran arkib yang inklusif amat penting difahami oleh pentadbir awam dan masyarakat. Melalui misi yang jitu, arkib akan memastikan tadbir urus rekod yang efisien dan efektif melalui teknologi terkini dapat direalisasikan impaknya demi kepentingan negara dan kemakmuran bersama.\nPada awal penubuhannya, arkib memberikan tumpuan kepada fungsi untuk memberikan khidmat nasihat dan rundingan kepada jabatan-jabatan kerajaan tentang etika dan langkah pengurusan rekod awam yang mapan, sistematik dan berkesan demi menjamin pemeliharaan rekod awam yang selamat.\nArkib juga bertanggungjawab mengesan, mengumpul, menyimpan dan memelihara sebarang rekod dan maklumat yang mempunyai nilai kebangsaan dan sejarah yang tinggi sebagai khazanah warisan negara Malaysia.\nPerkara ketiga yang menjadi fokus adalah dengan menyediakan kemudahan rujukan dan penyelidikan serta pendokumentasian dalam tujuan memperlengkap maklumat mengenai sejarah tanah air. Sudah pastilah hal ini yang terpenting agar pengurusan rekod dan dokumen ini akan menjadikan arkib sebagai pusat yang akan menyebar maklumat dan ilmu bernilai sejarah untuk tatapan dan maklumat awam.\nSeiring dengan perkembangan generasi Malaysia yang semakin maju, arkib juga memfokuskan objektifnya dengan meningkatkan kecekapan dan kesedaran penjawat awam mengenai Pengurusan Rekod melalui penguatkuasaan Akta Arkib Negara Malaysia 2003 (Akta 629) untuk memastikan rekod diurus secara sistematik dan kos efektif mengikut piawaian yang telah ditetapkan seterusnya memastikan arkib memperoleh bahan arkib yang bernilai kekal disimpan dan dipelihara mengikut prinsip dan standard yang ditetapkan sebagai bahan rujukan dan warisan negara. Kemuncak kepada pelaksanaan ini adalah dengan memasyarakatkan bahan arkib melalui program advokasi bagi mempertingkatkan penghayatan sejarah negara ke arah pembentukan jati diri warga Malaysia atau kini lebih mesra disebut Keluarga Malaysia.\nDemikian antara perkongsian awal saya tentang Arkib Negara Malaysia. Pepatah ada menyebut, tak kenal maka tak cinta. Apabila kita cinta, maka tumbuhlah sifat bertanggungjawab kepada diri kita sendiri dan jika dihubungkan dengan arkib sudah tentulah segala rekod dan dokumen berkaitan urusan kerajaan akan kita uruskan dengan sebaik-baiknya kerana pada masa hadapan tanpa kita ketahui bahawa rekod dan dokumen itu rupa-rupanya menjadi \u201cnyawa\u201d kepada negara.\nUntuk pengetahuan anda, bidang arkib amat penting dalam pengurusan dan pentadbiran sesebuah kerajaan. Memetik sumber daripada International Council on Archives yang menyebut bahawa arkib ialah saksi masa lalu serta memberikan bukti, penjelasan dan kebenaran, baik untuk tindakan masa lalu mahupun untuk keputusan masa kini. Walaupun daripada pandangan mata kasar, rekod serta fail yang merakamkan aksara dan data pengurusan sehari-hari kita itu seperti tidak benyawa, tetapi impak daripada dokumen ini adalah sebaliknya. Inilah uniknya bidang arkib.\nHingga hari ini, arkib telah menerbitkan lebih 100 judul buku yang mengkhususkan sumber daripada bahan arkib. Daripada penerbitan buku, arkib juga berinovasi dengan kerjasama Perbadanan Filem Nasional menerbitkan kapsul Hari ini dalam Sejarah. Sudah tentu anda semua masih ingat lagi kapsul televisyen ini, dan hingga hari ini, program Hari ini dalam Sejarah kekal menjadi jenama arkib yang cukup sentimental dalam kalangan kita.\nSelain itu, saya juga mendapat maklum balas daripada banyak pihak berkaitan sebuah buku terbitan Arkib Negara Malaysia yang cukup sinonim dengan perekodan visual peradaban negara Malaysia, iaitu buku yang berjudul Malaysia: A Pictorial History 1400 \u2013 2004. Buku ini memang amat mengujakan bagi pencinta sejarah tanah air. Bagi anda yang belum pernah melihatnya lagi, saya nasihatkan anda segera berkunjung ke cawangan arkib berdekatan dengan anda!\nIbarat air menitis ke batu yang keras, akhirnya lekuk juga batu tersebut, begitulah juga usaha kita meningkatkan kesedaran sejarah dan cintakan warisan yang kita miliki sebagaimana cara arkib. Saya yakin, melalui Hari ini dalam Sejarah, kita telah disegarkan dengan fakta dan jalinan pengisahan sejarah negara yang amat berkesan.\nHingga kini, arkib memiliki 13 cawangan di seluruh negara. Selain pustaka arkib di setiap negeri, anda juga boleh mendapatkan maklumat terperinci tentang Arkib Negarawan, satu lagi perihal menarik daripada arkib yang pasti akan meningkatkan semangat nasionalisme anda.\nSenario pandemik COVID-19, tidak menghalang kita untuk meneroka lebih banyak tentang arkib, anda boleh terus sahaja melayari www.arkib.gov.my, https://ofa.arkib.gov.my/portal/index.php/id/ atau Facebook Laman Rasmi Arkib Negara Malaysia.\nPenulis ialah Pengarah, Arkib Negara Malaysia Negeri Johor." "Santuni Karya Sasterawan Negara dalam Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan 20.0\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSintok \u2013 Program Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan 20.0 sekali lagi diadakan pada 16 Mei 2022. Pada kali ini, program ini menyantuni karya sasterawan negara dengan menjemput Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr. Anwar Ridhwan dalam slot cakna puisi. Selain slot cakna puisi, terdapat juga slot lain dalam program edisi Mei 2022 iaitu Sangkar Puisi \u2013 Slot Santai Jiwa dan Sangkar Puisi \u2013 Slot Wangian Sukma.\n\nSlot Santai Jiwa menampilkan tujuh pemuisi yang terdiri daripada Sasterawan Negara ke-13, Datuk Dr. Zurinah Hassan, \u201cBeraya dan Berwaspada\u201d; Presiden Persatuan Pemuisi Nasional (PEMUISI) Malaysia, \u201cSelamat Hari Raya\u201d karya Wanrazuhar; Profesor Madya Dr. Nor Hashimah Ismail, \u201cSyukur\u201d; Rusdi Mohamad Noor, \u201cSeloka Raya\u201d; Ahmad Jami\u2019ul Amil, \u201c Mencari Sebuah Masjid\u201d karya Taufik Ismail; dan Nur Ain Mohamat Zapiru, \u201cSebuah Penantian\u201d.\nSementara dalam slot kedua pula menampilkan enam orang pemuisi, iaitu Kapten Dato\u2019 Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob dengan puisi bertajuk \u201cUntuk Isteri Kutulis Puisi\u201d; Dr. Zainatul Shuhaida, \u201cMurung\u201d; Lasmi Febrianingrum, \u201cSudahkan Kaubersyukur?\u201d, H. [email\u00a0protected]. haji Mohd. Ali Haji Raden, \u201cPerjalanan\u201d; Nurshafiqah Mat Zizi, \u201cLebaran Impian\u201d; dan Profesor Dr. Zamri Radzi \u201cAku Hanya Mahu ke Seberang\u201d karya Hashim Yaacob.\nSlot terakhir merupakan slot cakna puisi. Dalam slot tersebut, Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr. Anwar Ridhwan telah menjawab pelbagai soalan yang dikemukakan oleh moderator, Asmawiza Haji Hussin dan berkongsi \u00a0pelbagai pandangan, cadangan dan saranan dalam usaha mengantarabangsakan karya sastera negara kita.\nPada awal bicara tersebut, beliau telah berkongsi tema yang menjadi pilihan ketika berkarya. Beliau meletakkan diri sebagai manusia yang melihat perubahan-perubahan yang sebenarnya memberikan cabaran kepada tradisi budaya kita. Contohnya, dalam novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, beliau sebenarnya ingin menyampaikan kepada masyarakat kita semakin banyak kehilangan warisan tradisi dalam kehidupan.\n\u201cDalam usaha menjadi masyarakat madani, kita tidak boleh menolak perubahan tetapi kita perlu mengekalkan nilai-nilai murni dalam masyarakat kerana kita tidak mahu hanya maju dalam bidang material semata-mata sehingga mengorbankan nilai-nilai kemanusiaan,\u201d tambahnya.\nBeliau juga berkata, sastera mewakili budaya ketamadunan bangsa kerana sastera itu sentiasa berkembang. Hal ini dikatakan demikian kerana pengarang melihat sesuatu dalam masyarakat dan mengolah dengan gaya bahasa sastera yang boleh menyentuh emosi dan pemikiran khalayak pembaca.\n\u201cSebenarnya, Malaysia mempunyai banyak karya yang bermutu tetapi sayangnya kita tidak mempunyai satu program yang menyeluruh dan berkesan bagi menterjemah karya-karya ini baik daripada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mahupun Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM),\u201d katanya ketika menjawab persoalan yang dikemukan oleh moderator untuk mengantarabangsakan sastera di peringkat global.\nBeliau juga menyenaraikan beberapa usul dan cadangan dalam usaha untuk mengantarabangsakan karya sastera negara. Antaranya adalah dengan melaksanakan satu program teratur untuk karya-karya terpilih diterjemah ke dalam bahasa asing,\u00a0 penterjemah tersebut perlulah penutur bahasa asal bahasa yang ingin diterjemahkan, karya terjemahan diterbitkan di negara sasaran dengan kerjasama penerbit negara tersebut, kenalpasti agen pemasaran di negara yang ingin dipasarkan karya terjemahan tersebut dan manfaatkan pusat-pusat pengajian Melayu yang ada di pelbagai negara dalam usaha pengantarabangsasteraan sastera kita secara lebih meluas.\nDalam usaha memastikan karya yang dihasilkan berkualiti, kita perlu mendapatkan pandangan daripada editor dan karya kita perlu dikiritik agar kita mampu menghasilkan sesuatu yang karya yang lebih berkualiti.\n\u201cSebagai seorang yang pernah bergelar editor, penghasilan sesuatu karya mengambil masa yang lama kerana karya tersebut akan disemak berkali-kali sebelum diserahkan bagi memastikan kesempurnaannya. Setiap karya yang dihasilkan pulu akan dipastikan mencapai tahap terbaik sekurang-kurangnya pada peringkat kebangsaan\u201c katanya.\nMenutup bual bicaranya, beliau menyatakan Program Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan harus diterus dan diperluaskan kerana program ini merupakan medan utuk menunjukkan bahasa Melayu\u00a0 merupakan bahasa moden, antara bahasa terbesar di dunia, bahasa yang boleh mengungkapkan pemikiran yang kompleks, bahasa pengucapan seni yang dapat difahami di peringkat antarabangsa.\nProgram Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan 20.0 edisi bulan Mei bersempena sambutan Aidilifitri merupakan anjuran bersama Pusat Budaya dan Seni, Universiti Utara Malaysia (UUM), PEMUISI, DBP, Alumni Bengkel Puisi Merdeka (ALUMNI) serta rakan strategik luar negara dari Indonesia, iaitu Universitas Muhammadiyah Profesor Dr. HAMKA (Uhamka), Universitas Trunojoyo Madura dan Universitas Pendidikan Indonesia serta dari negara China iaitu Sichuan International Studies University dan dikendalikan oleh dua orang pengacara, iaitu saudara Harlym Yeo dan \u00a0Profesor Madya Dr. Nor Hasimah Ismail." "Penggemar Laksa Bertemasya di Bandar Diraja Perak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Kangsar \u2013 Temasya 99 Laksa Kuale anjuran Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) di Arena Kuala Kangsar pada 14 Mei 2022 lalu diadakan berikutan juadah berkenaan signifikan dengan daerah itu. Difahamkan angka 99 diambil daripada perkataan Kuala Kangsar, iaitu Kuala Kurang Sa yang bermaksud terdapat 99 anak sungai dan kurang satu untuk menjadi 100. Angka 99 juga bermaksud 99 buah gerai/peniaga meskipun akhirnya hanya 56 sahaja yang mengambil bahagian.\nPerasmian Temasya 99 Laksa Kuale disempurnakan oleh Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nazhatul Shima Idris A\u2019fifullah yang juga pencetus idea penganjuran temasya tersebut.\nTernyata idea Raja Nazhatul Shima tidak sia-sia kerana MPKK berminat, dan menyambut dengan harapan dapat menjadikannya sebagai acara pelancongan tahunan selain Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah.\nMenurut Yang Dipertua MPKK, Zulqarnain Mohamad, penganjuran Temasya 99 Laksa Kuale merupakan usaha untuk menarik lebih ramai pelancong ke Kuala Kangsar, Bandar Diraja Perak.\n\u201cDaerah Kuala Kangsar amat terkenal dengan pelancongan bertemakan warisan, budaya serta kraf tangan. Temasya laksa ini mampu menyuntik semula ekonomi penggiat industri pelancongan daerah ini yang terjejas ekoran COVID-19,\u201d kata Zulqarnain dalam ucapannya.\nTurut hadir ialah Yang Dipertua Baiduri Perak, Datin Seri Aezer Zubin; Ahli Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Dato\u2019 Nolee Ashilin Mohammed Radzi; dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid.\nTemasya 99 Laksa Kuale turut dimeriahkan oleh persembahan beberapa orang artis terkenal tanah air seperti Yassin Yahya atau Yassin Senario, dan Ahmad Yassin serta Alfia (Yah Kucai), dan cabutan bertuah, pertandingan makan laksa terbanyak (satu kilogram), dan gerai paling meriah atau tercantik. Pengguna YouTube terkenal, Apit Wan Lebo yang juga warga Kuala Kangsar ditugaskan sebagai pengacara." "Alumni UPNM Perkenal Budaya Malaysia di Eropah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Besi \u2212 Alumni Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), iaitu Wan Muhammad Faris Wan Mohd Noor, pemuda dari Setia Alam, Selangor bersemangat menjalankan Misi Jelajah Berbasikal Solo Alumni Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) #FarisNoor ke 20 buah negara di Eropah.\nSatu daripada objektif misi pengembaraan solo di 20 negara Eropah adalah untuk mengangkat budaya Malaysia melalui pakaian, makanan, lagu rakyat dan dikir barat. Menurut Faris Noor, selain membawa lagu rakyat, matlamat utamanya adalah untuk menjejak alumni UPNM yang bekerja atau menetap di sana, mempelajari budaya masyarakat di Eropah dan memperkenalkan kesenian serta kebudayaan Malaysia kepada mereka.\nFaris Noor berpeluang memperkenalkan seni dan budaya Malaysia di luar negara malah masyarakat Eropah mempunyai peluang menikmati air tangan Faris Noor yang menyediakan juadah Malaysia seperti nasi lemak dan kuih-muih pada program Malam Kebudayaan.\nSambutan Hari Raya Aidilfitri di perantauan dengan pelajar asing dan Alumni UPNM ialah memori yang cukup indah dalam misi pengembaraan ini. Bait-bait lagu rakyat yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan begitu mudah untuk diikuti meskipun baru pertama kali didengari. Kedengaran lagu rakyat seperti Rasa Sayang, Ala Changung, Anak Ayam, Anak Itik Tok Ti, Anak Ondeng, Bapaku Pulang dari Kota, Jong-Jong Inai, Trek Tek Tek dan Wau Bulan adalah antara lagu rakyat yang cukup popular dan dekat dengan hati masyarakat Melayu dan bumiputera.\nMasyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan kepelbagaian seni irama dan lagu yang amat menggamitkan nostalgia. Perkembangan lagu rakyat masyarakat Melayu itu yang telah tersebar luas merentasi samudera dan pelbagai negara yang dipenuhi pelbagai ras dan rumpun adat budaya. Keindahan bahasa kiasannya tinggi agar dunia dapat mengetahui bahawa lagu-lagu rakyat ini mampu menyatupadukan suatu rumpun yang besar di Alam Melayu. Lagu rakyat diangkat dan dinyanyikan dengan alat muzik ukulele cukup indah dan menarik minat masyarakat di Eropah.\nProses pembinaan masyarakat yang menyayangi dan menyanjungi budaya amat penting. Misi pengembaraan selama 74 hari bermula pada 7 Mei 2022 di London hingga 21 Julai depan dari sini ke Istanbul, Turki. Seperti dijadualkan, Faris Noor bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada pukul 11.30 malam Sabtu lalu dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, di sini jam 5.50 pagi Ahad waktu tempatan. Pertemuan dengan Aimi, iaitu penuntut Malaysia yang belajar di Universiti Kent membantu Faris Noor dalam urusan tiket dan dipermudahkan urusannya.\nKesempatan bertemu dengan Tan Sri (Dr.) Syed Azman Syed Ibrahim, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UPNM dan dan Datuk Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed dilantik sebagai Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) semasa makan tengah hari di Restoran Melur di Paddington menyuntik semangat untuk membuat yang terbaik untuk UPNM dan Malaysia.\nKata-kata semangat digenggam erat oleh Faris Noor yang membawa bahasa Melayu gah di pentas antarabangsa dengan memperkenalkan kepelbagaian bangsa dan etnik di negara ini menggambarkan keunikan kepada Keluarga Malaysia kerana setiap daripada mereka mempunyai bahasa yang tersendiri. Semaikan semangat patriotisme, iaitu cinta yang kental terhadap negara menuntut tumpuan yang berbeza akibat keadaan dan masa.\n\u201cMalaysia sebagai sebuah tanah yang penuh keharmonian dan silang budaya serta rakyatnya saling menghormati di samping kepelbagaian bangsa, agama dan budaya berkenaan menjadi sumber kekuatan Keluarga Malaysia\u201d.\n(Perdana Menteri Malaysia, Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob)" "Pak Andak Penerus Legasi Pakaian Songket Warisan Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Rancangan Sembang Tamu Dewan Budaya yang bersiaran secara langsung dari Studio DBP dan ditayangkan menerusi media sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada petang semalam membawakan penonton berkenalan dengan seorang pengumpul pakaian tradisional dari Ayer Keroh, Melaka termasuklah songket yang berusia hampir 50 tahun, iaitu YM Raja Andak Raja Hussin atau lebih mesra disapa sebagai Pak Andak.\n\nDalam rancangan tersebut, Pak Andak menunjukkan koleksi pakaian songket yang menjadi jantung hatinya. Antara pakaian songket yang dibawa ialah songket berwarna ungu manggis dengan bermotifkan bunga tanjung, songket bunga tabur berwarna biru nila, dan songket bunga tabur bertenun benang emas dengan corak kudup bunga raya.\nPak Andak mengakui berminat dengan pakaian warisan budaya ini sejak berusia enam tahun kerana membesar dengan melihat pakaian songket yang dipakai oleh keluarganya dan persekitarannya pada ketika itu.\n\u201cSaya dibesarkan dalam suasana kemeriahan pemakaian songket dan sentiasa melihat keluarga saya menggayakan songket sejak kecil iaitu semasa berumur enam tahun,\u201d jelas anak jati Batu Pahat Johor ini.\nPada masa yang sama, mengimbau kembali kenangan beliau bersama orang tuanya yang sering mengenakan songket, beliau menyatakan mula tertarik dengan kain songket apabila sering melihat ibunya menyediakan samping songket untuk bapanya setiap kali mengerjakan solat Jumaat.\nSelain itu, faktor yang menarik minat Pak Andak dalam mengumpul baju-baju lama ini ditambah lagi apabila beliau melihat busana songket yang selalu dipakai oleh raja sehari semasa ke majlis perkahwinan yang melambangkan kecantikan dan kemewahan.\n\u201cSaya suka melihat pakaian songket pengantin kerana cantik dan mahal. Waktu itu, kain songket hanya mampu dimiliki oleh golongan bangsawan dan mak andam untuk membuat majlis perkahwinan,\u201d jelas pengumpul pakaian songket Malaysia ini.\nMenurut Pak Andak, pakaian songket ini bukan sahaja digunakan oleh pengantin sahaja. Golongan bangsawan juga menggayakan pakaian songket ketika majlis keraian, keramaian dan majlis penganugerahan pingat. Songket ini dapat dibezakan fungsinya berdasarkan warna, motif dan tenunannya.\nTambah beliau lagi, \u201cSebagai pengumpul baju songket, saya harus tahu asal usul dan falsafah pakaian tersebut seperti jenis motif, penggunaannya berdasarkan warna dan jenis potongan pada bahagian leher sama ada tulang belut atau mata lalat. Falsafah inilah yang melambangkan kemewahan pada kain songket.\u201d\nPengumpul koleksi pakaian songket tradisional ini telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 400 pasang pakaian songket yang berusia 50 tahun dan ke atas termasuklah yang hilang, mereput kerana makan diri dan dijual.\nAntara kaedah untuk menentukan nilai kualiti pakaian songket ini adalah apabila pakaian tersebut berusia lebih daripada 50 tahun dengan keadaan warna yang tidak luntur berserta tenunan benang perak yang masih legap.\nMengulas lebih lanjut berkenaan keistimewaan songket Malaysia, Pak Andak menyatakan songket Terengganu Jong Sarat mempunyai tenunan penuh dan berat sehingga pemakainya dapat merasakan sedang menampung pakaian tersebut.\nSelain itu, baju kurung songket ini juga dilengkapi dengan basi iaitu lipatan lebihan kain pada bahagian hujung baju yang boleh digunakan sebagai kain tampal sekiranya berlaku kerosakan seperti berlubang atau terkoyak.\nPak Andak turut berkongsi pengalamannya berkenaan tatacara penjagaan pakaian lama yang perlu dititikberatkan, antaranya perlu disimpan di tempat yang kurang pencahayaan, plastik setiap pakaian perlu diganti setiap enam bulan, setiap pakaian hendaklah digantung dan tidak disimpan di dalam almari kayu untuk mengelakkan serangan serangga perosak.\nMengakhiri sesi temu bual, Pak Andak menyatakan harapan beliau untuk melihat songket Malaysia digunakan dengan lebih meluas lagi. Malah, beliau turut menyeru pengusaha industri perkahwinan untuk terus menggalakkan penggunaan busana songket kepada pengantin dalam majlis perkahwinan kerana beliau berpendapat mereka inilah antara pihak yang bertanggungjawab memperkenalkan songket kepada masyarakat.\nTonton rancangan Sembang Tamu: \u201cSi Jantung Hati\u201c Raja Andak Raja Hussin di sini." "Menemui Semula, Lagu Kedua Kempen Cuti-cuti Malaysia Dilancarkan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Pada 17 Mei 2022 lalu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi Tourism Malaysia melancarkan lagu Kempen Cuti-cuti Malaysia versi kedua berjudul Menemui Semula di sebuah hotel terkemuka dekat sini.\nLagu ciptaan Ananth Kumar (irama) dan James Boyle (lirik) tersebut didendangkan oleh penyanyi terkenal tanah air, Aina Abdul. Aina turut muncul dalam majlis pelancarannya mendendangkan Menemui Semula yang bergenrekan pop etnik bersama-sama aliran muzik dunia, hip hop dan muzik tarian elektronik (EDM) secara langsung dengan suara mantap, dan mendapat tepukan bergemuruh.\nMenemui Semula yang turut menggabungkan alunan muzik tradisional seperti seruling, gamelan, erhu, kompang dan gendang, antara lain menyelitkan mesej penerokaan pengalaman melancong dalam negara bagi menikmati khazanah alam semula jadi bersama-sama keluarga tersayang. Pelancarannya selari dengan fokus kerajaan untuk memperkasakan pelancongan domestik, seiring dengan peralihan ke fasa endemik yang bermula sejak 1 April 2022 lalu, dan sebagaimana tujuan lagu Menemui Semula, Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 (PPP2022) turut dilancarkan.\nPelancaran Menemui Semula dan PPP2022 disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri. Dalam ucapannya, Dato\u2019 Sri Nancy memberitahu, PPP2022 yang merupakan kesinambungan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi yang merupakan antara inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Industri Pelancongan melibatkan penyaluran insentif kepada rakyat Malaysia dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat.\nPemberian diskaun, baucar dan rebat yang bermula pada 29 April 2022 lalu, katanya, melibatkan dua kluster, iaitu Kluster Pengangkutan Darat dan Kluster Persatuan Pelancongan.\n\u2018Inisiatif ini bakal diperluas secara berperingkat, melibatkan Kluster Pengangkutan Udara, dan Kluster Penginapan, selain Kluster Pelancongan Minat Khas, merangkumi segmen selam skuba, inap desa, beli-belah dan taman tema,\u2019 tambah Nancy.\nMenurutnya lagi, pelancaran PPP2022 bertujuan menarik minat orang ramai untuk terus membuat tempahan tiket pengangkutan, atau pakej pelancongan pada harga diskaun istimewa. Langkah ini seterusnya, tambah Nancy, mampu merangsang permintaan industri pelancongan untuk menyokong mereka yang terjejas agar kekal berdaya saing.\n\u201cDi bawah Kluster Pengangkutan Darat, Tourism Malaysia telah menjalinkan kerjasama strategik bersama-sama perkhidmatan KLIA Ekspres dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam penawaran diskaun tambang antara RM10 sehingga RM15 yang bakal memberi manfaat kepada 64,675 orang pengguna,\u201d jelas Nancy.\nMenurut beliau lagi, pembelian tiket boleh dibuat sama ada menerusi aplikasi KLIA dengan KTM Mobile, secara dalam talian, atau mesin tiket.\nSementara itu, di bawah Kluster Persatuan Pelancongan pula, Tourism Malaysia sekali lagi bekerjasama dengan Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound Cina Malaysia (MICA), Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA), Persatuan Pengembaraan dan Pelancongan India Malaysia (MITTA), dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) dalam penawaran pelbagai pakej destinasi pelancongan domestik oleh ejen pelancongan berdaftar menerusi aplikasi e-marketplace Shopee.\n\u201cRakyat Malaysia boleh mendapatkan diskaun sebanyak RM100 untuk satu transaksi pembelian pakej pelancongan bernilai RM200 ke atas bermula pada 29 April sehingga 31 Oktober 2022 bagi tempoh perjalanan hingga 31 Disember 2022,\u201d jelas Nancy.\nSetiap pengguna atau pemegang MyKad, tambah beliau, layak untuk menebus sekali sahaja diskaun ini dan pembelian perlu dibuat melalui Shopee Pay. Dianggarkan 14 925 rakyat Malaysia bakal menerima manfaat ini dengan sasaran penjualan pakej percutian keseluruhan bernilai RM2 985 000.\nYng turut hadir ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Dr. Santhara J.P., Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Mohd Zamri Mat Zain, dan wakil-wakil rakan kerjasama pelancongan.\nSelain Pelancaran Pelan Pemulihan Pelancongan dan lagu Menemui Semula, turut diadakan sesi minum petang dan sambutan Aidilfitri kerana Syawal 1443 Hijrah masih ada. Hadirin dan tetamu kehormat dihiburkan oleh persembahan menggesek biola sambil menari daripada Mohamad Aqmal Daniel Hashim, 22 tahun, dan sekali lagi Aina.\nSementara itu, video Menemui Semula boleh dilayari di laman YouTube Malaysia Truly Asia." "ATMA UKM Luaskan Fungsi Taman Pantun untuk Aktiviti Kebudayaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBangi \u2013 Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan Majlis Kenduri Budaya pada pagi 20 Mei 2022, bertempat di Taman Pantun, Istana Puteri Bongsu, UKM.\nPenganjuran majlis ini dilakukan dengan kerjasama Yayasan Budi (BUDI), Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Gagasan Minda Merdeka (GMM).\nMenurut Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang juga merupakan Pengarah ATMA, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, \u201cDalam menggiatkan aktiviti kebudayaan di negara ini, ATMA bakal meluaskan fungsi Taman Pantun, Istana Puteri Bongsu UKM, iaitu melalui pembukaan gelanggang silat, permainan tradisi, serta majlis kebudayaan secara berkala.\u201c\nDalam majlis tersebut, beliau turut mengharapkan Taman Pantun ini menjadi lapangan sasar bagi aktiviti berpanah dan berkuda.\n\u00a0\nMenerusi ucapan Yang di-Pertua Dewan Negara merangkap Pengasas dan Pengerusi Yayasan Budi, YB Senator Tan Sri Dato\u2019 Seri Utama Rais Yatim, beliau berkata, \u201cKita di ambang perubahan siasah, dan perkara ini harus dilalui dengan kesedaran.\u201c\nKita sebenarnya dalam keadaan tali gasing. Dahulu pangkalnya tebal, kini semakin tirus.\n\u201cBagi yang tidak kenal sejarah, ATMA dikatakan hanyalah cabang UKM. Cabaran-cabaran ini perlu dibawa kepada pemimpin, betapa pendidikan merupakan acuan yang penting,\u201c kata beliau.\nYB Senator Tan Sri Dato\u2019 Seri Utama Rais turut berkata, \u201cDalam hal kebudayaan, ramai mengatakan warisan seni dan budaya tidak penting. Dalam hal ini, saya merakamkan ucapan tahniah kepada ATMA dan agensi lain yang menganjurkan usaha murni ini.\u201c\nPada majlis tersebut, beliau turut menyentuh mengenai kepentingan bahasa kebangsaan. Katanya, \u201cHakikat sekiranya bahasa Melayu tidak diutamakan seperti dalam perlembagaan, kita akan keciciran, termasuklah budaya.\u201c\nHilang bahasa, hilang budaya. Hilang budaya, hilang negara.\nPada Majlis Kenduri Budaya tersebut, YB Senator Tan Sri Dato\u2019 Seri Utama Rais turut melancarkan Tabung Taman Pantun Istana Puteri Bongsu. Majlis turut diserikan dengan persembahan silat, bongai, teromba dan pantun.\nSementara itu, Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat UKM, YBhg. Profesor Dato\u2019 Norazah Mohd Nordin berkata, \u201cPada Mei 2022 merupakan ulang tahun UKM yang ke-52. Menjelang hari ulang tahun ini, warisan budaya kebangsaan menjadi agenda penting UKM.\u201c\n\u201cAtma sebagai pasak yang menunjangi UKM, yang sejak tahun 1992 telah meluaskan skop kajian dalam pelbagai aspek kehidupan kosmologi Melayu. Oleh itu, usaha majlis ini akan mempunyai kesinambungan untuk memartabatkan warisan yang tidak ternilai harganya,\u201c tambah beliau." "Inisiatif Inovasi Kampung Seberang Ramai Mendapat Perhatian Usahawan dari Dubai\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPauh Putra \u2013 Inisiatif inovasi yang dilaksanakan di Kampung Nelayan Warna-warni Program Transformasi Diraja Seberang Ramai, Kuala Perlis untuk masyarakat setempatnya mendapat perhatian Dr. Hesham Hafez, seorang usahawan berjaya dalam industri pemerdagangan kertas global yang kini bermastautin di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).\nBeliau yang terpegun dengan perubahan Kampung Seberang Ramai menyatakan, berdasarkan pemerhatian beliau, Perlis telah mula menggalakkan dan menyokong usaha inovasi.\nKetika menyampaikan ucapan bagi menerangkan teras utama dalam inovasi termasuklah cara untuk mewujudkan masyarakat dan negara yang inovatif dalam International Talk Series Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr. Hesham berkata, \u201cSaya percaya Perlis berada di landasan yang betul untuk melaksanakan projek perintis kepada mana-mana bandar, pekan atau kampung yang tidak besar bukan sahaja di Malaysia seperti ini tetapi di seluruh dunia kerana pencapaian usaha ini walaupun masih di peringkat awal dan banyak lagi usaha sedang dirangka untuk ditambah baik, namun perkara ini benar-benar unik, inovatif dan jika terus diberikan fokus akan mampu memberikan perubahan hidup yang cukup memanfaatkan seluruh warga setempat.\u201c\nDalam seminar tersebut, beliau turut berkongsi tentang buku karya beliau sendiri yang bertajuk The Global Innovator: How Nations Have Held and Lost Innovative Edge yang diadakan di Auditorium Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin UniMAP di Pauh Putra. Buku tersebut ditulis oleh Dr. Hesham bersama-sama dua orang tokoh, iaitu Kenneth Lipartito dan Patricia Watson melalui Think Twice Books dan diterbitkan di Amerika Syarikat oleh Ideapress Publishing.\nRaja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Canselor dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Tuanku Pro-Canselor berkenan berangkat menghadiri seminar yang diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Ulangtahun Keputeraan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ke-79 tersebut.\nKeberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Timbalan-timbalan Naib Canselor universiti. Yang hadir sama ialah kepimpinan tertinggi dan ahli Majlis Perwakilan Pelajar UniMAP serta wakil daripada pelbagai agensi dan juga institusi pengajian tinggi di Perlis." "DBP Menyantuni Masyarakat Orang Asli Semoq Beri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKemaman \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sentiasa berusaha meningkatkan khalayak dan juga rakan kolaborasi apabila turun padang melaksanakan program kepada masyarakat Orang Asli Semoq Beri di Kemaman. \nProgram Penyelidikan dan Pengumpulan Cerita Rakyat Semoq Beri dan Apresiasi Bahasa dan Sastera Bersama-sama Masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Pergam yang dilaksanakan pada 18 hingga 19 Mei 2022 lalu menyasarkan masyarakat Orang Asli suku Semoq Beri pelbagai peringkat usia.\nPelbagai program berkonsepkan pertandingan, candawara, mainan akal bahasa dan sastera, didik hibur dan kajian lapangan bagi mengumpulkan cerita rakyat masyarakat Orang Asli. Usaha ini dijayakan dengan gabungan tenaga tiga bahagian di DBP, iaitu Bahagian Penyelidikan Sastera,\u00a0 Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur.\nAntara kegiatan yang dilaksanakan pada peringkat prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah ialah Pertandingan Mewarna bertema bahasa, Pertandingan Sebut dan Eja dengan Betul, Pertandingan Dam Bahasa dan Kuiz Bahasa dan Sastera. Pertandingan Lagu Puisi dan Lagu Melayu pula terbuka dan mendapat sambutan yang begitu menggalakkan. Projek penyelidikan dan pengumpulan cerita rakyat pula melibatkan beberapa orang responden yang terdiri daripada Tok Batin dan juga warga emas masyarakat Orang Asli Semoq Beri di Kampung Sungai Pergam dan kampung lain yang berdekatan. Sebanyak 10 cerita rakyat berjaya dikumpulkan sepanjang\u00a0 kajian ini dijalankan.\nSekalung penghargaan kepada Yang Berhormat (YB) Cikgu Abdul Razak Ibrahim, ADUN Air Putih yang hadir merasmikan majlis penutupan program. Melihat kepada sambutan masyarakat Orang Asli\u00a0 terhadap program ini, beliau amat mengharapkan DBP dapat meneruskan program ini pada masa akan datang. Hal ini agar peneguhan jiwa terhadap bahasa dan sastera Melayu dalam kalangan masyarakat Orang Asli bertambah mantap dan dapat dipertingkatkan.\u00a0 Beliau amat berterima kasih kepada DBP kerana memilih Sungai Pergam sebagai lokasi mengadakan program pada tahun 2022.\nEncik Saifullizan Yahaya, Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera DBP berkata, cerita rakyat masyarakat Orang Asli Semoq Beri yang diusahakan pengumpulannya oleh pegawai penyelidik bahagiannya akan\u00a0 diterbitkan oleh DBP. Projek penyelidikan dan pengumpulan cerita rakyat Orang Asli seluruh negara ini bermula pada tahun 2016. Program penyelidikan dan pengumpulan cerita rakyat ini merupakan khazanah berharga negara untuk kita mengetahui budaya dan pemikiran orang asli di Malaysia. DBP juga melaksanakan pelbagai program bahasa dan sastera di sini untuk menyemai benih-benih kecintaan terhadap bahasa kebangsaan dan celik terhadap kesusasteraan.\nSementara itu, Encik Mohd Azam Juhari, Pengarah DBP Wilayah Timur berkata, \u201cDBP Wilayah Timur sentiasa berusaha untuk mengembangkan bahasa dan sastera di seluruh negeri Terengganu. Pelbagai program telah dirancang di Kampung Sungai Pergam, dan ini merupakan usaha bersepadu DBP untuk mengumpulkan kearifan tempatan dan memupuk rasa cinta dan bangga terhadap bahasa Melayu oleh masyarakat Orang Asli di sini.\u201c\nPuan Roziah Md Yunus, Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum mengucapkan terima kasih kepada JAKOA Terengganu dan Pejabat DUN Air Putih atas kerjasama menjayakan pelaksanaan program ini. Menurut Roziah, usaha ini dapat memupuk semangat cinta akan bahasa kebangsaan, jati diri dan perpaduan kaum masyarakat Orang Asli. \nBahagian kami menyantuni masyarakat semua kaum di Malaysia dalam memenuhi misi bahagian, iaitu memasyarakatkan bahasa dan sastera kebangsaan dalam kalangan pelbagai kaum.\nEncik Shafei Abas, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Terengganu dan Kelantan amat berterima kasih atas perhatian pihak DBP melaksanakan program ini. \u201cMasyarakat Orang Asli di sini menyambut baik dan kami mengalu-alukan pelaksanaan program ini kepada masyarakat Orang Asli di seluruh Kelantan dan Terengganu,\u201c katanya." "Catur Johor: Realiti Perang dalam Sebuah Permainan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nUniknya arkib tempat saya bertugas sekarang, iaitu di negeri Johor, merupakan arkib yang pesat berkembang dengan rekod dan dokumen sejak ditubuhkan pada Mei 1972. Arkib Negara Malaysia Johor terletak di Tingkat 7, Wisma Persekutuan, di Jalan Ayer Molek, Johor Bahru ini menempatkan rekod dan dokumen berkaitan Johor seawal abad ke-19.\nPelbagai pihak dari dalam dan luar negara telah mengunjungi Arkib Johor bagi melaksanakan kerja-kerja penyelidikan khususnya berkaitan dengan negeri Johor. Ada perkongsian menarik ingin saya sertakan dalam penulisan ini melalui penelitian saya kepada rekod-rekod arkib di sini, satu daripadanya ialah berkaitan dengan catur perang Johor.\nApabila menyebut catur, saya yakin pembaca pasti memahami bagaimana catur Inggeris serta catur Cina menjadi satu permainan otak yang sangat popular dalam kalangan masyarakat kita. Menurut Dr. Mohd. Hasanuddin bin Mohd. Yusof, seorang penyelidik catur Melayu memberitahu bahawa catur perang Johor merupakan satu daripada rekod penting membuktikan wujudnya permainan ini sebagai alat mempertajam strategi peperangan dalam era sejarah Johor Lama khususnya pada era pemerintahan Raja Kecil Siak (1718 \u2212 1722).\nApa-apa yang menarik hendak saya kongsikan ialah catatan berkaitan dengan catur Johor turut berada dalam simpanan Arkib Negara Malaysia Negeri Johor. Dalam kajian sebelum ini, terdapat beberapa catatan manuskrip Melayu merakamkan bahawa masyarakat Melayu seawal abad ke-15 di Melaka telah bermain catur bagi mengisi masa lapang di samping menguji kepintaran masing-masing. Turut dicatatkan tokoh permainan catur pada masa abad ke-15 bukan sahaja mampu menangani permainan catur dengan baik tetapi turut berjual beli pantun dalam masa yang sama. Hal ini menunjukkan permainan ini sinonim dengan tahap keintelektualan pemainnya. Permainan ini kemudiannya diwarisi oleh kesultanan Johor, kejituan tumpuan kepada permainan ini dikatakan sehingga mampu mengalih perhatian pemain daripada suasana peperangan buat seketika.\nCatur dalam masyarakat Melayu Johor khususnya pada awal abad ke-18 adalah permainan yang dimainkan oleh semua golongan khususnya golongan bangsawan.\nKaedah permainan catur Johor berbeza daripada beberapa catur lain yang sejenis dengannya. Catur Johor turut digelar sebagai catur perang dan pemain mempunyai dua objektif untuk menentukan pemenang. Setiap pemain catur Johor perlu mencapai salah satu matlamat sama ada berjaya menawan sebanyak mungkin bidak lawan ataupun menguasai ruang kubu pertahanan lawan.\nKejayaan salah satu objektif ini membolehkan pemenang permainan ini ditentukan. Peraturan permainan catur perang Johor ini sesungguhnya ialah realiti perang ke dalam sebuah permainan. Mungkin ada yang mempertikaikan permainan ini turut dimainkan di beberapa wilayah moden Malaysia mahupun Indonesia. Akan tetapi, hal yang demikian hanya menunjukkan bahawa catur Johor ini mempunyai pertalian sejarah yang tersebar ke seluruh wilayah yang pernah menjadi sebahagian dari wilayah jajahan takluk Johor.\nCatatan berkaitan dengan permainan catur Johor atau catur perang ini telah dirakamkan dengan kemas oleh Istana Johor sebelum kemudiannya seorang tokoh Johor, iaitu Mejar Mohamad Said Sulaiman memeliharanya dalam bentuk catatan yang disalin semula. Beliau ialah individu yang penting di istana semasa pemerintahan DYMM Sultan Ibrahim al-Masyhur Johor.\nKelebihannya mengakses dokumen bernilai tinggi di istana Kesultanan Johor ini telah memberikannya peluang untuk menyalin semula manuskrip tulisan tangan yang uzur dan tidak mampu mengelak daripada kemusnahan. Salinan dalam tulisan Jawi bertaip menjadikan maklumat berkenaan telah berjaya dipanjangkan usianya hinggalah abad 21 ini. Atas usaha beliaulah akhirnya satu daripada permainan Johor yang intelektual sifatnya dapat diselamatkan untuk rakyat Johor hari ini khususnya dan Malaysia umumnya.\nPada hari ini, dokumen berkaitan dengan permainan catur Johor telah menggamit lebih ramai penyelidik baru untuk menjalankan kajian yang lebih mendalam di Arkib Negara Malaysia Negeri Johor. Daripada sebuah sumber primer di arkib, catur Johor wajar dilahirkan semula ke dalam masyarakat supaya menjadi sebuah budaya yang perlu dilestarikan kembali ke dalam ganerasi muda keseluruhannya.\nUsaha ini selayaknya mendapat sambutan daripada agensi penggerak yang penting seperti Yayasan Warisan Johor yang bukan sahaja mempunyai dana malah kepakaran dan peralatan yang bersesuaian dalam memelihara dan memulihara budaya ketamadunan Johor. Peranan agensi ini dalam mengembalikan catur ke dalam masyarakat tidak kurang pentingnya seperti peranan yang dimainkan oleh pusat intelektual Johor di Pulau Penyengat pada abad ke-18 itu sendiri.\nMelalui pemugaran sejarah catur Johor dan kembalinya ke dalam inventori permainan rakyat tidak bermakna akan meminggirkan catur lain yang telah sedia ada sejak awal abad ke-20. Sebaliknya, permainan catur Johor ini bukan sahaja menjadi salah satu pilihan permainan catur tapi menjadi identiti Johor dalam permainan khususnya berkaitan dengan sukan otak. Permainan ini kelak menjadikan masyarakat tidak melupakan masa lalu bagaimana hebatnya Johor pada abad ke-16 hingga abad ke-18. Sejarah yang bukan sahaja mewarnai bidang politik, ekonomi dan bahasa malah turut melibatkan kesan dalam aspek budaya dan juga permainan dalam masyarakat Melayu moden khususnya.\nCatur Johor satu daripada beribu-ribu sumber sejarah yang boleh didapati dari Arkib Negara Malaysia Negeri Johor. Selain maklumat sejarah dan rekod-rekod pentadbiran, mungkin sekiranya orang awam mahupun pelajar ingin melihat dengan lebih dekat bagaimana proses satu-satu dokumen dipelihara dan dijaga rapi, bolehlah merancang masa anda untuk membuat temu janji melawat arkib.\nPenulis ialah Pengarah, Arkib Negara Malaysia Negeri Johor." "Rangkai Kata \u201cadalah kerana\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nAdakah ayat di bawah ini gramatis?\n1. Punca masalah ini berlaku secara leluasa adalah kerana kebanyakan murid hari ini tidak dibekali pendidikan agama yang sempurna.\nDaripada:\nZulfadzli, Kota Kinabalu." "Merdekakan Minda dengan Bertutur dalam Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKUALA LUMPUR \u2013 \u201cSaya bangga kerana memilih bahasa Melayu untuk menyampaikan maklumat kesihatan. Sains dan teknologi milik semua bahasa di dunia ini dan bukannya khusus untuk bahasa Inggeris sahaja, sebagaimana anggapan sesetengah orang\u201d, ujar Dr. Malar Santhi Santherasegapan atau lebih dikenali dengan panggilan Dr. Malar. Beliau berkata demikian dalam \u201cProgram Ambang Merdeka: Celoteh Dr. Malar \u2013 Enak Lauk Dikunyah-kunyah, Enak Kata Diulang-ulang\u201d yang bersiaran secara langsung pada pukul 11.00 pagi tadi menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP.\nTambah beliau lagi, amat mudah baginya untuk memberikan kefahaman tentang ilmu dan maklumat kesihatan kepada masyarakat melalui penggunaan bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan negara ini dan setiap rakyat Malaysia pastinya memahami akan bahasa Melayu. Oleh itu, bahasa Melayu milik semua rakyat Malaysia. Hargailah dan berbanggalah dengan bahasa Melayu.\nBeliau turut berpesan khususnya kepada anak-anak muda kini, iaitu \u201cKita boleh bercakap secara santai tetapi mestilah berhati-hati agar perkataan yang kita gunakan itu tidak membawa kemudaratan kepada bahasa Melayu.\u201d\n\nMenurut beliau, apa-apa sahaja bahasa termasuklah bahasa Inggeris bukanlah satu \u201ctag nama\u201d yang menunjukkan kepandaian atau kebijaksanaan seseorang tetapi hanyalah satu medium untuk berkomunikasi. Di dunia pada zaman sekarang yang mempunyai segala kemudahan aplikasi terjemahan di dunia maya, maka sangat tidak adil sekiranya kita meletakkan bahasa Inggeris sebagai lambang ketinggian kualiti ilmu seseorang. Hal ini demikian kerana ada orang yang tinggi ilmunya tetapi bahasa Inggerisnya biasa-biasa sahaja dan ada juga orang yang kurang berilmu tetapi dapat bercakap dalam bahasa Inggeris dengan sangat fasih. Hakikatnya, jangan menilai seseorang itu kerana kefasihannya bercakap dalam sesuatu bahasa tetapi lihatlah seseorang itu dari segi ilmu yang dimilikinya dalam sesuatu bidang.\nDemikianlah antara perkongsian oleh Dr. Malar yang kini bertugas di Jabatan Kecemasan, Hospital Columbia Asia Cheras, Kuala Lumpur. Terdahulu, celotehnya mengenai ilmu dan maklumat yang disampaikan secara bersahaja tetapi memikat berjaya menarik jutaan tontonan di pelbagai pelantar digital termasuklah Facebook, YouTube, Instagram dan lain-lain." "Kelantan Berikan Penghargaan kepada Pendikir Barat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Dikir barat, seni budaya yang tidak asing lagi di negara kita. \u00a0Kesenian ini berakar di Kelantan dan berkembang dan dikenali sehingga ke luar negara. Bagi menghargai jasa bakti para pendikir yang tinggi nilainya, Kerajaan Negeri Kelantan dan Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK) dengan kerjasama Persatuan Dikir Barat Negeri Kelantan (PENDIKIR) mengiktiraf jasa dan sumbangan para pendikir barat di negeri Kelantan dengan menganjurkan Malam Himpunan Dikir Barat 2022 di sebuah hotel di Kota Bharu yang telah menghimpunkan seramai 400 orang khalayak.\nHadir merasmikan program, Dato\u2019 Haji Ahmad Yakob, Menteri Besar Kelantan berkata, program ini berjaya mengumpulkan para pendikir dan antara himpunan dikir barat terbesar di Kelantan.\u00a0 Beliau percaya dan yakin usaha seumpama ini dapat mengekalkan kesinambungan seni budaya dan mengangkat nama negeri Kelantan. Kerajaan negeri sentiasa menyokong anak seni yang giat memartabat dan mempertahankan seni warisan budaya Kelantan ini.\nMejar (B) Dato\u2019 Haji Md Anizam Ab Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan berkata, selain Darul Naim, Kelantan turut diberi jolokan sebagai Negeri Gedung Budaya, Negeri Serambi Mekah dan Negeri Bertuah.\nGelaran ini terhasil daripada penat lelah anak negeri yang sentiasa berfikir dan bekerja untuk memartabatkan negeri Kelantan.\nUjar beliau, program ini bertujuan mengiktiraf penggiat seni dikir barat yang mengharumkan nama negeri Kelantan, mengerat hubungan silaturahim antara pendikir dan memartabatkan seni dikir barat sebagai warisan budaya Kelantan agar tidak pupus.\nDalam majlis yang gemilang tersebut, beberapa kategori anugerah dan pengiktirafan telah diberikan kepada pendikir yang layak. Sabri Yunus, pengarah dan pelakon terkenal tanah air telah dinobatkan sebagai Duta Anak Seni Kelantan. Anak kelahiran Pengkalan Chepa, Kelantan ini dipilih berdasarkan sumbangan beliau dalam bidang pengarahan, lakonan drama juga perfileman yang telah mengharumkan nama negeri Kelantan.\nKategori Ikon Legenda Dikir Barat telah dianugerahkan kepada tokoh pendikir yang lama menabur jasa, iaitu Jen Endoro (Mohd Zain Ismail), Jali Bunga Tanjung (Mohd Razali Abdul Sukor) \u00a0dan Cikgu Sulizi (Sulizi Che Awang). Ikon Tok Jogho pula diberikan kepada Rozi Kemang Berduri (Mohd Razi Che Wil), Mejah Ana (Mejah Muda), Man Tok Raja (Tuan Ab Rahman Tuan Soh) dan Mail Anak Kala (Che Ismail Che Soh).\nKategori Ikon Tukang Karut pula dianugerahkan kepada Tuan Kob Raja Saring (Tuan Yacob Tuan Ismail), Kohar Teknik (Azhar Yaacob) dan Pak Nik Har Senandung Malam (Nik Azhar Nik Yahya). Kerajaan negeri turut meraikan pendikir muda Kelantan dengan memperkenalkan Ikon Muda Dikir Barat yang menjadi pelapis dikir barat. Anugerah ini dikurniakan kepada Amran DBA (Amran Mat Daud), Raden Mas Uji (Mohd Hanafiah Yusoff) dan Joe Ranjuna (Mohd Faizul Ya).\nKerajaan negeri turut mengiktiraf pemain gendang yang profesional dengan memperkenalkan Ikon Pemain Gendang. Penerima anugerah ini ialah Piji Bano (Ruhaizi Abas)\u00a0 dan Fauzi Kok Lanas (Fauzi Hussin). Kategori Ikon Media Baru/Dikir Fusion pula diberikan kepada Man Khan (Wan Nukman Wan Hamdan), Fendi Kenali (Mohd Afandi Mohamad), Poyie Gasi (Mohamad Zainuri Mohd Zain), Fadil Turbo Mohd Fadil Mohd Noor) dan Jen KL (Mohd Zain Hussin). Kategori berikutnya ialah Ikon Jasamu Dikenang telah dianugerahkan kepada pendikir otai, iaitu Hamid Budaya (Che Hamid Awang) dan Tokwe Hasan Gula Batu (Abdul Manaf Mohamad).\u00a0 Pak Chu (Eyo Hock Seng) pula diberikan Ikon Dikir antara Kaum yang mengiktiraf jasa beliau dalam berkecimpung secara aktif dalam dikir barat.\nPenggiat dikir barat ternyata gembira, berterima kasih dan bersyukur atas perhatian dan keprihatinan Kerajaan Negeri Kelantan yang mengiktiraf peranan mereka dan meletakkan kesenian dikir barat antara kesenian yang penting dan ikonik negeri Kelantan." "\u201cTerbitkan Hasil Kajian Kearifan Tempatan untuk Rujukan Generasi akan Datang\u201d \u2013 YB Dato Zaiedi Haji Suhaili\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Setelah perasmian pembukaannya oleh Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 5 Mac 2022, Seminar Kearifan Tempatan bertemakan \u201cPenyelidikan Borneo\u201d menjadi program sulung yang diadakan di Muzium Budaya Borneo pada 25 Mei 2022. Seminar yang bermatlamat untuk menonjolkan kearifan tempatan yang terdapat di Sarawak dan Sabah ini dirasmikan oleh Ahli Dewan Negara, Yang Berhormat Senator Dato Zaiedi Haji Suhaili.\nDalam ucapannya, Dato Zaiedi Haji Suhaili menyatakan negeri Sarawak yang memiliki pelbagai etnik amat kaya dengan adat dan budaya yang cukup unik. Oleh yang demikian, pengkajian tentang kearifan tempatan serta penerbitan bahan yang berkaitan dengan bahasa, sastera dan budaya tempatan, terutama di Kepulauan Borneo perlu dilakukan dengan giat dan berterusan. \u201cTerbitkan hasil kajian tentang kearifan tempatan untuk rujukan dan bacaan generasi akan datang. Jangan simpan hasil kajian itu. Melalui penerbitan itu nanti, semua elemen nilai, mesej dan falsafah yang dikesan dalam kajian berkaitan dengan kearifan tempatan akan diketahui oleh banyak pihak, malah berpotensi untuk diperkenalkan pada peringkat antarabangsa\u201d, demikian ucap Dato Zaiedi Haji Suhaili yang turut memuji usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak menganjurkan seminar kerifan tempatan yang melibatkan Sabah dan Sarawak.\nPengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Abang Julai dalam ucapan alu-aluannya pula berterima kasih atas dukungan dan sokongan pihak Kerajaan Negeri Sarawak khususnya dalam agenda memartabatkan bahasa, sastera dan budaya di negeri Sarawak.\nMenurut Abang Haliman Abang Julai,\nPihak DBP Cawangan Sarawak akan meneruskan usaha penyelidikan bahasa, sastera dan budaya untuk mencungkil nilai dan mesej berkaitan dengan kearifan tempatan. Hasilnya akan didokumentasikan kerana kajian sebegini akan menjadi rujukan para pengkaji, selain membuka ruang dan peluang untuk penyelidikan baharu yang lebih mendalam tentang kepelbagaian etnik, adat dan budaya yang terdapat di negeri Sarawak.\nDalam majlis yang sama juga berlangsungnya pelancaran buku Kumpulan Cerita Rakyat Sarawak Suku Kaum Kayan Avun Batang Hagang Kayo. Buku yang menghimpunkan cerita lisan masyarakat Kayan ini sarat dengan adat dan budaya serta kisah kepahlawanan dan kebijakan suku kaum Kayan pada masa dahulu. Cerita dalam buku Avun Batang Hagang Kayo diperoleh melalui temu ramah informan yang kemudiannya ditranskripsi dalam bentuk karya kreatif oleh DBP Cawangan Sarawak.\nSebelum acara perasmian seminar dan pelancaran buku Avun Batang Hagang Kayo, berlangsungnya sesi ucaptama yang disampaikan oleh Profesor Dr. Norhashimah Jalaluddin. Beliau yang kini menjadi Felo Tamu di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) mengetengahkan kajian \u201cMengenali Akal Budi Melayu Sarawak\u201d.\nProfesor Dr. Norhashimah mengetengahkan tinjauannya berkaitan dengan mesej dan falsafah yang tersembunyi di sebalik adat dan budaya serta cerita rakyat yang terdapat di Sarawak dan Sabah. Beliau juga turut menggesa agar hasil kajian itu diterbitkan untuk rujukan dan bacaan generasi akan datang.\n\u2018Sarawak dan Sabah memiliki banyak sumber yang menyimpan kearifan tempatan. Kajian yang mendalam harus dilakukan, terutama untuk melihat falsafah dan pemikiran yang terdapat pada adat dan budaya yang menjadi warisan berharga dan sarat dengan pengajaran. Misalnya, mengapa cara memasak pulut berbeza-beza dalam kalangan etnik yang terdapat di Sarawak? Perkara seperti itulah yang menarik untuk dikaji dan diberitahu kepada generasi pada hari ini,\u2019 demikian saranan Profesor Dr. Norhashimah yang memang gemar mengkaji aspek akal budi dan kearifan tempatan masyarakat di Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak.\nDalam seminar yang berlangsung sehari ini, sebanyak enam kertas kerja yang berkaitan dengan kearifan tempatan masyarakat di Sarawak dan Sabah telah dibentangkan oleh enam pemakalah. Pembentangan sesi pagi menampilkan pemakalah dari Sarawak, iaitu Dr. Haji Zainal Abidin Haji Masleh dari Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang dengan tajuk tajuk kajiannya, \u201cLarangan Memakan Ikan Patin: Tinjauan Fenomenologi Masyarakat Melayu Melanau di Sarawak\u201d. Dr. Remmy Gedat dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang mewakili etnik Iban membentangkan tajuk \u201cKearifan Tempatan Masyarakat Iban dalam Cerita Rakyat Apai Saloi\u201d manakala Dr. Yvonne Michelle Campbell juga dari UNIMAS membentangkan kajian berkaitan dengan konseptualisasi budaya suku kaum Bidayuh. Pembentangan sesi petang pula menampilkan pemakalah dari Sabah, iaitu Dr. Rosliah Kiting yang menjelaskan amalan sundait, Dr. Elexson Nillian dari Universiti Malaysia Sabah yang berkongsi penemuan berkaitan adat dan budaya suku kaum Cebub, dan Profesor Madya Dr. Asmiaty Amat juga dari Universiti Malaysia Sabah yang menjelaskan watak dan nilai positif dalam cerita jenaka etnik peribumi Sabah.\nSeminar anjuran kerjasama DBP Cawangan Sarawak, DBP Cawangan Sabah, Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Sarawak dan Jabatan Muzium Sarawak ini juga diadakan bersempena dengan sambutan 45 tahun DBP Cawangan Sarawak pada tahun ini. Seminar yang menjadi medium untuk menyampaikan hasil kajian dan penemuan berkaitan dengan sastera lisan, adat dan budaya ini turut dihadiri oleh Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Puan Aminah Awang Basar, Pengarah JKKN Sarawak, Puan Noor Sela Noor Sulaiman dan Timbalan Pengarah Jabatan Muzium Sarawak, Dayang Morzana Awang Haddy." "DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Menyantuni PDRM Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat menerima undangan menghadiri Sambutan Hari Raya Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perlis yang diadakan di Mes Pegawai Kanan PDRM Perlis, Jalan Raja Muda, Kangar, malam semalam.\nKeberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Ketua Polis Perlis, DCP Dato\u2019 Surina Saad dan Timbalan Ketua Polis Negeri, SAC Baderulhisham Baharudin serta para pegawai kanan PDRM Perlis. Yang turut berangkat ialah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.\nDalam majlis tersebut, DYMM Tuanku Raja dan Tuanku Raja Perempuan Perlis melawat gerai-gerai yang dihias menarik serta menyajikan pelbagai juadah yang disediakan mengikut jabatan dalam PDRM Perlis, disusuli dengan sesi bergambar kenangan, ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Dato\u2019 Ketua Polis Negeri serta majlis santapan diiringi pelbagai persembahan kebudayaan dan sketsa menarik oleh warga kerja PDRM Perlis. DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Tuanku Tengku Fauziah juga memotong kek pada kemuncak majlis bersempena dengan hari ulangtahun keputeraan baginda yang ke-79 pada 17 Mei 2022.\nKetua Polis Negara, IG Tan Sri Dato\u2019 Seri Panglima Acryl Sani Haji Abdullah Sani dan Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Datuk Razarudin Husain serta bekas Ketua Polis Negeri Perlis dan juga barisan pengurusan tertinggi PDRM Perlis masa kini mempersembahkan ucapan tahniah dan Selamat Menyambut Hari Ulangtahun kepada Tuanku Raja melalui siaran digital dalam majlis tersebut.\nDYMM Tuanku Raja Perempuan dalam titah baginda kepada sekalian yang hadir mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh keluarga PDRM. Titah baginda, \u201cSemoga Hari Raya Aidilfitri pada kali ini membawa 1001 kenangan dan kebahagiaan buat semua.\u201d\nBaginda dan Tuanku Raja turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga PDRM atas jasa mengawal keselamatan terutamanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu.\nTuanku Tengku Fauziah turut mendoakan agar warga PDRM terus-menerus dikurniakan kesihatan dalam hari-hari mendatang.\nAmbillah peluang pada majlis tersebut untuk mengenali dan memaafi sesama sendiri agar warga PDRM Perlis dapat saling bekerjasama sebagai satu pasukan yang utuh dalam melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan." "Kemeriahan Sambutan Tadau Kaamatan di Sabah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTanggal 30 dan 31 Mei merupakan kemuncak kemeriahan sambutan Tadau Kaamatan yang merupakan pesta menuai masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) di Sabah.\nPerayaan bulan lima etnik peribumi Sabah yang antara lain meraihkan semangat Huminodun selalunya diwarnai dengan pelbagai adat budaya yang unik yang lazimnya telah diketahui oleh masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah.\nApa-apa yang sering kali didengari atau dilihat orang luar mungkin hanyalah mengajak tetamu ikut serta menari-nari lenggang Sumazau tetapi sebenarnya lebih daripada itu.\nMenjadi kebiasaan dalam sesebuah keluarga di Sabah mempunyai berbilang etnik dan mempraktikkan kepercayaan agama yang berlainan. Anak hasil perkahwinan antara Cina dengan Kadazan misalannya akan dikenali sebagai Sino. Dalam sebuah keluarga juga kita boleh melihat adik-beradik ada yang beragama Kristian, Buddha dan Islam.\nKebetulan pula perayaan Kaamatan pada tahun ini diraikan bersama-sama dengan sambutan Hari Raya Aidifitri telah menjadikan suasana sambutan pada tahun ini lebih istimewa dengan bertemakan \u201cKaamatan monunduon do winorun\u201d.\nHal ini ditambah dengan pandemik COVID-19 yang melanda sebelum ini, menyebabkan dua siri Kaamatan yang lepas disambut dengan norma baharu yang dibelenggu pelbagai sekatan.\nAcara kemuncak sambutan Kaamatan ialah pertandingan Unduk Ngadau, iaitu pertandingan ratu cantik peringkat negeri di Dewan Hongkod Koisaan KDCA. Para finalis yang berentap di KDCA Penampang terdiri daripada juara-juara daerah di seluruh Sabah akan memperagakan baju tradisi suku etnik masing-masing dan bersedia diuji dalam pelbagai aspek baik perwatakan diri khasnya jati diri dan identiti, gaya berjalan, termasuk kemampuan serta kepetahan (lancar dan yakin) berbahasa ibunda.\nAntara sebab mengapa Unduk Ngadau berlangsung selama sebulan adalah kerana sambutan ini bermula pada peringkat daerah dan final diadakan di Dewan Hongkod Koisaan KDCA.\nMedia biasanya juga tidak akan terlepas membuat liputan terhadap pelbagai aspek acara tradisional ini termasuklah kelengkapan pakaian tradisional, kriteria-kriteria penilaian memakai aksesori perhiasan, pembawaan diri atas pentas (tidak kelihatan janggal atau kekok), komunikasi nonverbal seperti senyuman manis yang asli mahupun sebarang tips-tips yang dikongsikan oleh para juri yang berpengalaman secara gratis.\nPaling menyeronokkan apabila melihat gelagat entri-entri dalam media sosial yang obses berdebat \u2212 siapakah yang paling layak dinobatkan sebagai pemenang? Meskipun ada kalanya nampak wujud sentimen kedaerahan yang melampaui batas, namun pada hakikatnya hal yang demikian menyerlahkan semangat pisompuruan yang bermakna perpaduan dan semangat kekitaan yang tetap harmoni. Jangan terkejut mahupun terkilan jikalau ada kalanya juri UN pun \u201cdiserang\u201d kredibiliti mereka membuat penilaian. Begitu pun, tidak kurang juga yang sekadar mengikuti kepelbagaian ragam itu sebagai pandangan dan buah fikiran untuk menambah ilmu mahupun hiburan semata-mata.\nMasing-masing cuba menyudut dari sudut pandang yang berbeza berdasarkan ilmu, pengetahuan, pandangan tersendiri berkenaan mana-mana yang betul dan tidak betul. Ada yang menyukai yang asli (original) tetapi ada yang mengusulkan rombakan sesuai dengan asimilasi budaya dan arus permodenan.\nMeskipun ada juga acara lain seperti Buvazoi Tavantang (Mr. Kaamatan) tetapi tetap tidak boleh lawan Unduk Ngadau. Terdapat juga Sugandoi, iaitu pertandingan menyanyi yang nampak semakin mendapat tempat tanpa prasyarat seketat Unduk Ngadau tetapi tidak mustahil pada masa akan datang untuk lagu dialek lokal.\nPenghayatan nilai tradisi itu sebenarnya subjektif dan terbuka luas. Ada yang advokasi keinklusifan yakni semua atau kepelbagaian tetapi tidak kurang juga yang ingin mengenalkan nilai suku marginal atau kelompok etnik momogun tertentu. Tidak dapat dinafikan ada bahasa subetnik tertentu yang berada di ambang kepupusan dewasa ini.\nPengunjung KDCA daripada pelbagai latar belakang yang berbeza akan berpeluang melihat rumah kebudayaan subetnik KDMR yang diusahakan oleh kerajaan dan persatuan etnik di Sabah sebagai satu usaha memelihara warisan budaya komuniti terbesar Sabah.\nTempoh sebulan menjadi medan kepada pengusaha makanan menjual pelbagai jenis makanan seperti Bazaar Ramadan. Justeru itu tidak mustahil menemui pelbagai makanan tradisional yang diusahakan oleh orang-orang tempatan tetapi tidak kurang juga makanan Barat seperti burger dan masakan ala Barat.\nHinava, tuhau, bambangan, nasi linopot, dan banyak lagi sudah menjadi sebahagian makanan eksotik yang mempunyai kepelbagaian cara memakannya. Makanan lain seperti sinalau bakas, pinaasakan atau bosou turut digemari ramai tetapi terhad pembuatannya disebabkan oleh faktor agama dan budaya.\nUniknya di Sabah, kita biasa melihat orang Sabah berbeza kaum dan kepercayaan boleh duduk makan dan minum semeja. Konsep silaturahim boleh dilihat berdasarkan restoran di Sabah juga banyak seperti di Sarawak apabila banyak warung makanan yang memberikan alternatif kepada pelanggan untuk memilih sementara tuan kedai fokus pada jualan air minuman sahaja.\nAkhir sekali, Selamat Menyambut Pesta Kaamatan \u201cKotobian Tadau Tagazo Kaamata\u201d. Tidak lupa juga, Selamat Menyambut Hari Gawai \u201cGayu Guru Gerai Nyamai\u201d kepada pribumi Sarawak yang meraikannya.\nMejar Profesor Madya Dr. Lee Kuok Tiung ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah." "\u201cJuh Bermukun\u201d Catat Rekod dalam The Malaysia Book of Records\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuching \u2013 Sempena Ulang Tahun Rangkaian Televisyen Malaysia (RTM) yang ke-76, pihak RTM Sarawak dan Sarawakfm telah mengadakan program persembahan \u201cJuh Bermukun\u201d tanpa henti selama 76 jam, bermula pada 27 hingga 30 Mei 2022.\u00a0 Persembahan \u201cJuh Bermukun\u201d yang bertempat di Auditorium P. Ramlee, RTM Kuching disiarkan secara langsung melalui Facebook Langsung RTM Sarawak dan turut diperdengarkan secara langsung melalui radio Sarawakfm.\nBermukun merupakan adat tradisi masyarakat Melayu di Sarawak yang tidak lapuk ditelan zaman. Seni hiburan tradisional ini menggabungkan persembahan tarian dan pantun berirama yang diiringi oleh gesekan biola dan paluan gendang. Bermukun yang sudah lama wujud di Bumi Kenyalang turut menjadi wadah untuk mendidik dan mengkritik perilaku masyarakat selain untuk berhibur.\u00a0\nTerdapat tiga elemen penting dalam persembahan bermukun, iaitu seh gendang, bertandak dan menopeng. Seh gendang merujuk sekumpulan wanita seramai dua hingga empat orang yang duduk di sebalik tabir, yang berperanan sebagai pemalu gendang sambil menyanyikan pantun. Ruang tengah berdekatan tabir dikosongkan untuk acara bertandak. Kebiasaannya, kaum lelaki yang akan bertandak atau berjoget secara bergilir-gilir. Menopeng pula merujuk penari lelaki yang memakai topeng disebabkan rasa malu untuk menari di khalayak ramai, selain untuk menyembunyikan identiti penari lelaki tersebut. Ketiga-tiga elemen ini boleh dilihat secara percuma dalam program \u201cJuh Bermukun\u201d yang dipersembahkan di Auditorium P.Ramlee, RTM Kuching, lantas mencatat rekod dalam The Malaysia Book of Records sebagai acara bermukun yang dipersembahkan tanpa henti selama 76 jam, dari 27 hingga 30 Mei 2022.\nDalam ucapan perasmiannya, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, dan juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Negeri Sarawak, Yang Berhormat, Dato\u2019 Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mengucapkan syabas atas inisiatif pelbagai pihak dalam menjayakan persembahan \u201cJuh Bermukun\u201d yang boleh dikatakan suatu acara besar di negeri Sarawak. Menurut beliau, persembahan \u201cJuh Bermukun\u201d selama 76 jam tanpa henti sememangnya suatu tempoh yang cukup panjang dan menuntut kesabaran, terutama daripada para seh gendang yang tugasnya memalu gendang sambil melagukan pantun.\u00a0\n\u201cPenganjuran program melalui kerjasama pelbagai pihak adalah penting dalam usaha untuk memastikan setiap program yang dilaksanakan memberikan impak positif kepada masyarakat secara keseluruhannya. Berkaitan dengan acara bermukun ini, dengan adanya kerjasama daripada beberapa pihak, maka persembahan ini akan meninggalkan impak yang signifikan dan bakal dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records,\u201d demikian ucap Dato\u2019 Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, yang kemudiannya merasmikan acara bermukun yang bermula pada 27 Mei, pukul 5.00 petang di Auditorium P.\u00a0 Ramlee, Kuching.\nDalam ucapan alu-aluannya pula, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Dato\u2019 Haji Che Roslan Che Daud menyatakan, program yang telah dirangka bermula pada hari ini dan akan berakhir pada 30 Mei 2022, membawa misi dan visi yang sangat besar, iaitu memartabatkan seni budaya setempat supaya tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. Sokongan dan dukungan yang padu daripada kementerian yang berkenaan juga membolehkan program seperti ini terus diadakan demi memartabatkan seni budaya bangsa.\u00a0\nMenurut Dato\u2019 Haji Che Roslan Che Daud, \u201cJika dilihat sekali imbas, aktiviti bermukun yang telah lama diamalkan oleh masyarakat Melayu di Sarawak hampir ada persamaan dengan dondang sayang di Melaka. Secara tidak langsung, program bermukun yang akan berlangsung tanpa henti selama 76 jam ini akan mengeratkan interaksi sosial bukan sahaja dalam kalangan masyarakat di Sarawak, malah melangkau ke negeri di Semenanjung Malaysia seperti Melaka.\u201d Tambah beliau, \u201cAcara bermukun juga mendapat perhatian dan sambutan daripada generasi muda di Sarawak. Hal ini ditambah dengan persembahan bermukun yang menampilkan tukang gendang, penari, penggesek biola dan pemantun yang hanya boleh disaksikan di negeri Sarawak. Maka itu, budaya bermukun harus dipelihara dan dilestarikan, terutama dalam kalangan generasi muda.\u201d\nPersembahan \u201cJun Bermukun\u201d dijayakan melalui kolaborasi daripada seh gendang dan pemukun dari Kuching, Bintulu, Miri, Mukah, Labuan dan Kota Kinabalu. Acara yang cukup signifikan dalam memelihara budaya tradisi masyarakat Melayu di Sarawak ini dianjurkan oleh RTM Sarawak dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, dan turut mendapat sokongan daripada saluran radio tempatan di Sri Aman, Bintulu, Miri, Limbang, Sabah dan Labuan.\nPengarah Penyiaran Negeri Sarawak, Encik Nasrul Hakim Mohd Nor, Pengarah Penyiaran Negeri Sabah, Encik Zulkifli Mohamad, dan Pengarah Penyiaran Wilayah Persekutuan Labuan, Puan Aminah Shamsuddin Mohd. turut hadir memeriahkan majlis perasmian persembahan \u201cJuh Bermukun\u201d dan juga sebagai tanda sokongan terhadap program seni budaya tempatan yang menjadi warisan berharga di negeri Sarawak.\u00a0\u00a0\nPersembahan bermukun tanpa henti selama 76 jam ini dibahagikan kepada tujuh bahagian dan menemui garis penamat tepat pada pukul 9.00 malam, 30 Mei 2022. Sebagai acara penutup, para penonton yang datang menyaksikan persembahan bermukun tidak melepaskan peluang berjoget di tengah pentas persembahan bermukun yang menutup tirainya dengan memperoleh pengiktirafan dalam The Malaysia Book of Records." "Karnival Langkawi Geopark 2022 Berlangsung Sepanjang Bulan ini\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2013 Karnival Langkawi Geopark 2022 bakal berlangsung selama sebulan bermula dari 1 Jun sehingga 30 Jun 2022. Karnival anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) ini adalah untuk menerapkan kefahaman dan nilai kebersamaan dalam kalangan komuniti pulau ini bagi memartabatkan Langkawi sebagai UNESCO Global Geopark pertama di Asia Pasifik dan yang ke-52 di dunia.\nPenganjuran karnival kali ini juga adalah merupakan langkah awal pihak LADA untuk memaklumkan kepada umum terutamanya komuniti setempat bahawa pulau ini akan dinilai bagi kali keempat oleh pihak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun hadapan. Penilaian semula ini merupakan proses semakan oleh pihak UNESCO bagi memastikan pengurusan Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh mereka, iaitu melalui keunikan warisan geologi, pemuliharaan dan pemeliharaan, pendidikan awam dan pembangunan komuniti dari sudut ekonomi dan sosiologi.\nYang Teramat Mulia Dato\u2019 Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu\u2019adzam Shah, Tunku Temenggong Kedah merangkap Penaung DiRaja LUGGp telah mencemar duli dan merasmikan Karnival Langkawi Geopark 2022 yang diadakan di Auditorium Kompleks LADA pada 31 Mei 2022 yang lalu. Beliau berkata dalam ucapan perasmiannya, karnival sebegini amat penting untuk dianjurkan kerana dapat memberikan pendedahan dan kesedaran kepada rakyat Langkawi tentang betapa pentingnya peranan semua pihak untuk terus menyokong LADA dalam usaha untuk mengekalkan pengiktirafan LUGGp sebagai satu daripada geopark yang diiktiraf oleh pihak UNESCO seterusnya mampu melonjakkan nama pulau ini sebagai salah satu destinasi pelancongan yang lestari dan ternama di mata dunia.\nDalam majlis perasmian tersebut juga, seramai 15 orang peserta Geowalk telah menyampaikan bendera LUGGp kepada Yang Teramat Mulia Tunku Temenggong Kedah sebagai simbolik kepada kejayaan mereka menyempurnakan perjalanan 90km dalam tempoh 24 jam mulai 31 Mei 2022.\nKeluarga Malaysia terutamanya bagi mereka yang tinggal di Pulau Langkawi boleh bersama-sama memeriahkan karnival yang berlangsung selama sebulan ini kerana pelbagai aktiviti dan program menarik yang disediakan untuk semua lapisan masyarakat. Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman Facebook rasmi LADA." "Tuah Auranzeb Menyanyikan Lagu Adaptasi Surah al-Asr\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSungai Buloh \u2013 Pemilik syarikat rakaman Luncai Emas Sdn. Bhd. yang juga komposer, penulis lirik dan penyanyi legenda tanah air, Dato\u2019 M. Nasir menerusi album solo beliau yang berjudul Solo pada tahun 1989, pernah mencipta dan menyanyikan lagu adaptasi daripada Surah al-Asr.\nLagu berjudul Demi Masa yang liriknya karya M. Nasir sendiri itu cuba membawa kesedaran mengenai kepentingan masa agar tidak disia-siakan. Saya sengaja mengambil Demi Masa kerana mahu mengaitkannya dengan lagu tunggal baharu nyanyian pendatang baharu yang diterbit, dan diedarkan oleh Luncai Emas, berjudul Tiada Ganti Cinta ini.\nNama penyanyi baharu tersebut juga menarik kerana mirip nama maharaja keenam Empayar Mogul yang masyhur, Aurangzeb atau nama sebenarnya, Muhi al-Din Muhammad. Penyanyi muda yang dimaksudkan itu ialah Auranzeb atau nama penuhnya, Muhammad Auranzeb Berembi. Irama lagu Tiada Ganti Cinta ini ciptaan komposer terkenal, Awang BPR, sementara liriknya karya Keon, yang juga salah seorang tenaga penting Luncai Emas.\nSaya mengaitkan Tiada Ganti Cinta ini dengan Demi Masa kerana Keon menjelaskan lagu ini juga diilhamkan daripada Surah al-Asr. Keon mengingatkan bahawa masa yang lepas tidak akan kembali lagi.\n\u201cJanganlah kerugian ketika melalui perjalanan hidup kita yang penuh ranjau duri ini. Hanya dengan kesabaran dan saling menasihati akan membawa kebaikan kepada kita semua,\u201d tegas Keon lagi.\nBerusia 19 tahun, Auranzeb berbakat besar dalam nyanyian. Awang sendiri mengakui oleh sebab kelebihan itu, Auranzeb tidak menghadapi sebarang masalah ketika merakamkan suara di studio.\nMenurut Awang yang pernah mencipta melodi lagu-lagu terkenal, termasuklah Umpama Mimpi dalam Mimpi (kumpulan Damasutra), Auranzeb merupakan artis terbaharunya pada tahun ini. Beliau telah mencipta sebuah irama balada rock dengan liriknya berkonsepkan kerohanian.\nJelas Awang, susunan asal muzik dibuat oleh Tony Iskandar (kumpulan Spider) sebelum Allahyarham meninggal dunia pada Jun 2021 akibat serangan jantung. Walau bagaimanapun, susunan muzik tersebut disambung oleh Malio. Tiada Ganti Cinta ini dirakamkan di Quantizes Studio dengan susunan muzik yang baharu itu.\n\u201cSetelah pihak Luncai Emas berbincang dengan saya sebagai penerbit untuk merakamkan lagu tunggal bagi bakat baharu, saya memilih Auranzeb menyanyikan Tiada Ganti Cinta ini,\u201d jelas Awang yang menguji bakat Auranzeb terlebih dahulu sebelum bersetuju mengambilnya sebagai penyanyi.\nAuranzeb yang berasal dari Seremban, memberitahu beliau menceburi bidang seni suara kerana meminati muzik, terutamanya muzik tahun 1980-an dan 1990-an. Menurutnya, muzik era tersebut mampu menangkap perasaan generasi baharu sepertinya, dan mudah diingati.\n\u201cSaya gembira diberikan tanggungjawab menyanyikan Tiada Lagi Cinta ini, apatah lagi, pencipta melodi dan penulis liriknya merupakan karyawan terkenal. Saya tiada idola tertentu, tetapi amat terilham dengan kumpulan rock besar seperti Wings, Search, May dan BPR,\u201d tambah Auranzeb.\nLagu tunggal Tiada Ganti Cinta ini telah dilancarkan secara perdana di saluran YouTube Luncai Umas bersama-sama sebuah video muzik. Audio rasminya juga boleh distrim di semua pelantar digital bermula pada 27 Mei 2022 yang lalu." "Hari Gawai: Perayaan Tradisi Etnik Peribumi Sarawak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nHari Gawai atau sering disebut Gawai Dayak merupakan perayaan tradisi yang disambut dengan penuh meriah oleh etnik Iban, Bidayuh dan Orang Ulu di Sarawak. Hari Gawai yang disebut \u201cAri Gawai\u201d dalam bahasa Iban dan \u201cAndu Gawai\u201d dalam bahasa Bidayuh disambut pada tarikh 1 Jun setiap tahun.\nTarikh sambutannya tidak berubah dan mula disambut secara besar-besaran sejak 25 September 1964 apabila Hari Gawai diisytiharkan sebagai hari perayaan rasmi di Sarawak. Sambutan Hari Gawai pada peringkat negeri yang pertama ialah pada 1 Jun 1965.\nSebelum itu, hari cuti umum ini dipanggil \u201cHari Sarawak\u201d oleh pemerintahan Rajah Brooke. Pada masa ini, tarikh 1 dan 2 Jun diisytiharkan sebagai cuti umum di Sarawak bagi memberikan peluang kepada rakyat Sarawak, khususnya suku kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu untuk merayakan Hari Gawai, selain menzahirkan rasa kesyukuran atas segala keberkatan, keharmonian, rezeki dan tuah yang diperoleh oleh suku kaum tersebut.\nHari untuk Berpesta\nMenurut sejarahnya, Hari Gawai diraikan sebagai tanda berakhirnya musim menuai padi bukit, selain untuk melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada \u201cpetara\u201d atas rezeki padi yang diperoleh pada musim tersebut. Maka itu, Hari Gawai merupakan hari untuk suku kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu untuk berpesta dan bergembira bagi meraikan rezeki menuai padi kerana perkataan \u201cgawai\u201d itu bermaksud pesta. Pendek kata, Hari Gawai merupakan hari menyambut tahun baharu yang ditandakan dengan berakhirnya musim menuai padi dan bermulanya musim menanam padi yang baharu. Selain itu, Hari Gawai bertujuan untuk meraikan \u201csemangat padi\u201d yang telah memberikan rezeki dan mengharapkan rezeki bertambah dan tiada apa-apa yang buruk berlaku dalam kehidupan etnik peribumi Sarawak itu pada musim menanam padi yang akan datang.\nAir \u201cTuak\u201d dan Kuih Tradisional\nMenyingkap cara masyarakat zaman dahulu menyambut Hari Gawai, suku kaum Dayak akan membuat persediaan awal, iaitu sebulan sebelum tibanya tarikh 1 Jun. Dalam tempoh sebulan itu, suku kaum peribumi yang menyambut Hari Gawai akan menyediakan air tapai yang dipanggil sebagai \u201ctuak\u201d. \u201cTuak\u201d dihasilkan daripada penapaian nasi pulut yang telah dimasak dan dicampurkan ragi sebelum disimpan di dalam tempayan. Penapaian \u201ctuak\u201d biasanya mengambil masa kira-kira sebulan. Apabila sudah ada sedikit air \u201ctuak\u201d tulen yang terhasil daripada nasi pulut yang ditapai itu, air itu akan dicampurkan dengan gula secukupnya mengikut banyaknya nasi pulut tersebut. Setelah hampir cukup sebulan, air \u201ctuak\u201d itu akan ditapis dan disimpan di dalam botol.\n\u201cTuak\u201d akan diminum semasa sambutan Hari Gawai dan biasanya tetamu yang datang berkunjung ke rumah panjang akan diberikan minuman \u201ctuak\u201d. Dalam masyarakat Iban, \u201ctuak\u201d dipanggil \u201cai pengayu\u201d yang bermaksud \u201ctuak untuk panjang umur\u201d. Sebelum meminumnya, \u201cooohaa\u201d akan dilaungkan yang menandakan perayaan Hari Gawai sudah tiba. Sebelum tiba hari perayaan juga, kaum wanita akan sibuk bekerjasama membuat kuih tradisional seperti kuih penyaram, kuih sepit, kuih jala, kuih cap dan penganan yang diperbuat daripada tepung beras, tepung gandum, santan dan telur.\n\u201cKumang\u201d dan \u201cKeling\u201d Gawai\nDalam tempoh sebulan menjelang Hari Gawai, pertandingan \u201cKumang Gawai\u201d dan \u201cKeling Gawai\u201d akan diadakan bertujuan untuk memilih gadis dan jejaka yang bukan sahaja cantik dan tampan tetapi mempunyai pengetahuan tentang adat dan tradisi suku kaum masing-masing. Pemilihan \u201cKumang Gawai\u201d yang disertai oleh gadis remaja dan \u201cKeling Gawai\u201d oleh lelaki remaja juga dinilai berdasarkan pakaian tradisi yang dipakainya berserta dengan aksesori yang bersesuaian dengan pakaian dan suku kaum yang diwakili oleh peserta pertandingan tersebut.\nSetiap Bahagian di Sarawak akan mengadakan pertandingan ini, dan \u201cKumang Gawai\u201d dan \u201cKeling Gawai\u201d yang mewakili Bahagian masing-masing akan beradu kecantikan, ketampanan dan kebijakan akal masing-masing pada malam kemuncak pertandingan yang kebiasaannya berlangsung sebelum tiba tarikh 1 Jun. Merujuk pada 11 Bahagian di Sarawak, suku kaum Iban kebanyakannya mendiami Bahagian Sri Aman, Kapit dan Betong. Suku kaum Bidayuh yang terbahagi kepada empat kategori, iaitu Bidayuh Biatah, Bidayuh Bau-Jagoi, Bidayuh Bukar-Sadong dan Bidayuh Selakau pula kebanyakannya tinggal di Bahagian Serian. Orang Ulu seperti Kayan, Kenyah dan Kelabit pula kebanyakannya mendiami daerah di Bahagian Miri dan Bintulu.\n\u201cNgabang\u201d atau \u201cBijarah\u201d\nSeperti sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali, Hari Gawai juga diraikan dengan mengadakan aktiviti berkunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handai. Dalam bahasa Iban, amalan kunjung-mengunjung disebut \u201cngabang\u201d manakala suku kaum Bidayuh menyebutkan \u201cbijarah\u201d.\u00a0 Maka itu, selain berpesta dan melakukan amalan tradisi, pada Hari Gawai juga semua adik-beradik dan sanak saudara yang tinggal berjauhan akan berkumpul di rumah panjang, atau pada masa ini di rumah ibu bapa yang tinggal di kampung. Semuanya akan berkumpul dan bersama-sama memeriahkan hari kebesaran tradisi yang diwarisi daripada nenek moyang. Yang menariknya, semua orang boleh \u201cngabang\u201d atau \u201cbijarah\u201d walaupun tidak mengenali penghuni rumah berkenaan.\nDalam kalangan suku kaum Bidayuh, sebelum berlangsungnya pesta atau sambutan gawai di rumah panjang pada waktu malam, upacara \u201cbirambet\u201d, iaitu menyambut kedatangan golongan lelaki dan tetamu dari luar yang datang ke rumah panjang akan diadakan pada waktu petang. Dalam upacara ini, golongan wanita akan beratur di sepanjang laluan menuju ke rumah panjang sambil memegang sebotol tuak dan kuih tradisional. Segelas tuak dan kuih tradisional akan diberikan kepada golongan lelaki dan tetamu yang berjalan menuju ke rumah panjang sebagai tanda sambutan dan mengalu-alukan kedatangan mereka.\nHidangan Tradisi\nMakanan tradisi, iaitu ayam yang dimasak di dalam buluh menjadi menu wajib yang dihidangkan semasa Hari Gawai. Bagi masyarakat Iban, hidangan tradisi itu disebut \u201cayam pansuh\u201d atau \u201cmanok pansuh\u201d manakala suku kaum Bidayuh pula memanggilnya \u201cassam\u201d atau \u201cissam\u201d. Terdapat perbezaan antara \u201cayam pansuh\u201d dengan \u201cassam\u201d.\u00a0 \u201cAyam pansuh\u201d ialah daging ayam yang dicampurkan daun pucuk ubi manakala \u201cassam\u201d ialah daging ayam yang digaul dengan nasi yang sudah dimasak. Persamaannya pula ialah hidangan tradisional itu dimasak dengan cara memasukkan daging ayam dan ramuan tertentu ke dalam buluh dan kemudian dibakar menggunakan kayu api.\nPerayaan Tradisi yang Kekal Terpelihara\nSeiring dengan kemajuan yang dicapai oleh masyarakat peribumi di Sarawak, Hari Gawai disambut dengan cara dan gaya moden, namun masih mengekalkan sebahagian upacara tradisional seperti penyediaan makanan tradisional, pemakaian pakaian tradisional, berpesta di rumah panjang dan menjaga pantang larang semasa membuat persediaan menyambut Hari Gawai. Kini, sambutan Hari Gawai bukan sahaja dimeriahkan oleh masyarakat peribumi malah diraikan oleh kaum lain dengan mengunjungi rumah rakan yang meraikan perayaan tradisi itu.\nSememangnya perayaan Hari Gawai menjadi lambang yang memperlihatkan perpaduan, aspirasi dan identiti suku kaum peribumi di Sarawak. Kini, walaupun pemodenan di Sarawak semakin berkembang, Hari Gawai masih kekal sebagai perayaan tradisi utama yang disambut meriah oleh masyarakat di Bumi Kenyalang." "Festival Malaysia-Jepun 2022 Eratkan Hubungan Dua Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Mereka yang tertarik dengan kimono dan ingin memakainya sama ada di reruai produk pelancongan atau dalam pertandingan kostum yang diadakan, boleh mengunjungi Festival Malaysia-Jepun 2022 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang dekat sini. Festival anjuran Alumni Program Rakan Abad ke-21 ASEAN-Jepun, Malaysia (PAMAJA) ini berlangsung dari 2 hingga 5 Jun 2022 bermula pada pukul 10.00 pagi.\nSelain reruai produk pelancongan, dan pertandingan kostum, Festival Malaysia-Jepun 2022 turut menampilkan pelbagai aktiviti seperti promosi latihan dan pembelajaran vokasional teknikal, serta pameran Dasar Pandang ke Timur (LEP) yang memaparkan sejarah panjang hubungan, dan kejayaan Malaysia-Jepun.\n\nDiadakan juga demonstrasi makanan seperti rendang, laksa, kari India, mi Cina dari Malaysia; sushi, sashimi, onigiri, ramen, halus mitai (watamae), daging wagyu dari Jepun; persembahan kebudayaan, tarian, serta muzik tradisional Malaysia dan Jepun (bertukar topeng Cina, tarian klasik, seni mempertahan diri silambam, persembahan silat, persembahan okarina, perarakan matsuri, ikebana dan origami), kelas bahasa Jepun, kaligrafi Jepun, kaligrafi khat, mencanting batik, mengukir kayu, kelas melukis (seni, animasi, kartun), program pertukaran hibrid, dan seminar.\nAntara kostum yang terlibat dalam pertandingan kostum Malaysia dan Jepun termasuklah baju kurung, ceongsam, baju Melayu, dan sari (Malaysia), serta kimono dan yukata (Jepun). Jadi, para pengunjung boleh mencuba pakaian tradisi Jepun ini.\nAntara objektif Festival Malaysia-Jepun 2022 adalah mempromosikan pelancongan, kesenian, serta kebudayaan Malaysia dan Jepun; menimbulkan kesedaran terhadap ulang tahun Dasar Pandang ke Timur (LEP) yang ke-40; memberikan pengalaman pelancongan, kesenian, dan kebudayaan kepada para pengunjung; memperkuat motivasi pembelajaran menerusi interaksi dan jaringan; memperkukuh hubungan antara pertubuhan; dan membantu industri pelancongan inap desa kerana 65 peratus daripada tetamu ialah warganegara Jepun.\nLEP yang merupakan dasar ekonomi diilhamkan oleh Perdana Menteri yang keempat, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun). Dr. Mahathir sendiri melancarkannya pada 8 Februari 1982, semasa Persidangan Tahunan Kerjasama MAJECA/JAMECA Kelima di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. LEP juga sebagai reaksi kepada dasar \u201cBuy British Last\u201d (yang juga diumumkan oleh Tun Dr. Mahathir pada Oktober 1981).\nBaru-baru ini, Jepun berminat untuk terus mengukuhkan hubungan dengan Malaysia, sebagaimana yang dinyatakan oleh Timbalan Ketua Misi Kedutaan Jepun di Malaysia, Araki Kaname. Jelas Araki, Jepun akan bekerjasama dengan Malaysia bersempena merayakan pencapaian hubungan dua hala sejak 40 tahun lalu. Katanya lagi, tumpuan juga akan diberikan dalam mengeratkan lagi hubungan dua hala untuk tempoh 40 tahun akan datang.\nTun Dr. Mahathir sendiri menganggap LEP telah berjaya serta harus kekal sebagai asas kepada strategi dan program pembangunan Malaysia. Katanya, dasar berkenaan memainkan peranan penting dalam perindustrian Malaysia, dan memberikan sumbangan yang ketara kepada pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.\nPenganjuran Festival Malaysia-Jepun 2022 juga mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Pelancongan Malaysia, Kedutaan Jepun, Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun, MaTiC, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Angkatan Pelukis seMalaysia, Pertubuhan Pelancongan Nasional Jepun, Persatuan Hotel Bisnes dan Bajet Malaysia, Yayasan Jepun, Kolej Komuniti Selangor dan Pahang, Biro Pelancongan Jepun, Kraftangan Malaysia, Perpustakaan Negara Malaysia, Balai Seni Negara, Persatuan Penulis Pelancongan; Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, dan semua agensi berkaitan.\nPerasmian Festival Malaysia-Jepun 2022 telah disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan, MOTAC, Dr. Tan Awang Besar di Auditorium Tunku Abdul Rahman, MaTiC pada 2 Jun 2022 yang lalu.\nYang turut hadir ialah Presiden PAMAJA dan Persatuan Inap Desa Malaysia, merangkap Pengerusi festival, Dato\u2019 Sahariman Hamdan; Duta Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi; dan Pengarah Perkhidmatan Maklumat Jepun/Setiausaha Utama, Kedutaan Jepun, Nagai Tomoko.\nDalam ucapan alu-aluannya, Dato\u2019 Sahariman menegaskan selama empat dekad, LEP telah menjadi penyumbang utama terhadap jalinan perhubungan antara Malaysia dengan Jepun. Hasilnya, dalam hubungan dua hala ini, kolaborasi ekonomi kedua-dua negara berkembang pesat.\nSementara itu, Katsuhiko Takahashi dalam ucapannya memuji usaha PAMAJA dan Persatuan Inap Desa Malaysia yang begitu giat mengadakan pelbagai acara, bagi mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia dengan rakyat Jepun.\nMelalui Festival Malaysia-Jepun 2022 ini, Katsuhiko berharap selain menyambut ulang tahun ke-40 LEP, Malaysia dan Jepun akan merangka kerjasama, dan merancang lebih banyak program bagi mengeratkan lagi persaudaraan kedua-dua negara.\nSementara itu, dalam ucapan perasmian, Dr. Tan memuji penganjuran Festival Malaysia-Jepun 2022 dan berharap akan menjadi acara tahunan. Festival ini memang merupakan peluang besar bagi rakyat Malaysia lebih mengenali kebudayaan, kesenian, bahasa dan pelancongan Jepun." "Istiadat Penganugerahan Sandang Kebesaran Imam Khalifah dan Kehormat Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nRembau \u2013 Telah berlangsung Istiadat Penganugerahan Sandang Kebesaran Imam Khalifah dan Kehormat Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau, bertempat di Balai Seri Rama, Balai Undang Luak Rembau, pada pukul 2.30 petang tadi. Majlis tersebut merupakan anjuran bersama Pejabat Undang Luak Rembau, Lembaga Beradat Kebangsaan dan Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia.\nMajlis yang berlangsung dengan penuh istiadat tersebut disempurnakan oleh Dato\u2019 Undang Luak Rembau, Yang Teramat Mulia (YTM) Dato\u2019 Lela Maharaja Dato\u2019 Haji Muhamad Sharip Haji Othman.\nDalam sabda Dato\u2019 Undang Luak Rembau, beliau berkata, \u201cBersilat merupakan satu budaya dan adat orang Melayu, yang Alhamdulillah masih ada hingga hari ini.\u201c\nAnak-anak kita yang diajar bersilat tidak saja membentuk jati diri sebagai seorang lelaki atau perempuan, malahan dalam bersilat juga diajar tentang adab dan adat dalam perguruan, sekali gus melatih seseorang itu menjadi manusia yang cemerlang lahiriah, akliah untuk menyumbang kepada tamadun mereka kelak.\nMenerusi ucapan Waris Amanah Mahaguru, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, beliau menghargai semua penerima sandang kehormat Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau. Dalam majlis tersebut, beliau turut merakamkan penghargaan atas jasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam perjuangan mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN melalui penganjuran Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu. Menurut beliau, usaha tersebut merupakan usaha murni demi kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.\nApabila menyebut bangsa dan adat Melayu, hal yang demikian bukanlah rasis tetapi merupakan watan negara, cerminan jati diri bagi bangsa Melayu dan landasan perpaduan bagi kepelbagaian kaum di negara ini.\nMajlis tersebut diteruskan dengan Persembahan Salinan Perlembagaan Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia (PSGSM) kepada YTM Dato\u2019 Undang Luak Rembau yang juga selaku penaung PSGSM, Istiadat Ambil Tapak dan seterusnya Istiadat Penganugerahan Sandang.\nSebanyak tiga Sandang Kebesaran, iaitu Seri Mahkota Agung Buana Chula Sakti (Imam Khalifah Negeri Melaka), Seri Chula Sakti (Waris Beradat) dan Seri Bintang Sakti (Ketua Beradat), serta tujuh Sandang Kehormat, iaitu Mahkota Agung Seri Relang Pelangi, Mahkota Seri Chula Pelangi, Mahkota Seri Bintang Pelangi, Mahkota Chula Pelangi, Mahkota Bintang Pelangi, Mahkota Relang Pelangi dan Mahkota Pelangi diberikan kepada kira-kira 29 orang penerima sandang.\nPada majlis istiadat tersebut, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP,\u00a0 YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran menerima Sandang Kehormat Mahkota Seri Chula Pelangi. Kedua-dua tokoh ini menerima penghargaan daripada PSGSM atas segala jasa dan sumbangan serta sokongan dalam perjuangan pertubuhan tersebut mengangkat silat seni gayong selama ini.\nAntara penerima sandang kehormat PSGSM yang lain termasuklah Yang Berhormat Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, Ahli Parlimen Alor Gajah, Melaka, menerima Sandang Kebesaran Seri Mahkota Agung Buana Chula Sakti (Imam Khalifah Negeri Melaka) dan Dr. Kamarul Zaman Yusoff, Pegawai Khas Perdana Menteri yang menerima Sandang Kehormat Mahkota Seri Bintang Pelangi.\nSepintas lalu, silat seni gayong diasaskan oleh Allahyarham Dato\u2019 Meor Abdul Rahman Daeng Uda Mohd Hashim. Seni ini merupakan ilmu persilatan purba yang dizahirkan semula oleh Allahyarham Dato\u2019 Meor Abdul Rahman pada tahun 1938 di Taiping dan mula dikenali apabila berlaku peristiwa di Pulau Sudong pada tahun 1942. Oleh itu, Istiadat Penganugerahan Sandang Kebesaran Silat Seni Gayong seperti yang diadakan pada hari ini merupakan satu upacara untuk melantik pemimpin-pemimpin adat, pengiktirafan kegurulatihan dan penghargaan buat mereka yang layak lagi berjasa kepada silat seni gayong." "Maksud dan Fungsi Kata \u201cJusteru\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKata justeru merupakan kata tugas yang kurang mendapat sorotan dalam huraian ahli bahasa. Oleh itu, ada kalanya para pengguna bahasa Melayu kurang pasti tentang penggunaannya yang betul.\nDalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2016: 647), kata justeru mendukung dua maksud, seperti yang berikut:\ni.\u00a0 kebetulan, tepat, kena benar\nKenapa justeru sekarang ini engkau harus pergi?\nii.\u00a0 malahan, bahkan\nSekali-kali tidak pernah saya mencaci dia, justeru saya puji dia.\nDalam Kamus Pelajar Bahasa Melayu Dewan Edisi Kedua (2016: 345),\u00a0 kata justeru juga meliputi dua maksud, seperti yang berikut:\ni.\u00a0 kebetulan, tepat\nii. malahan, bahkan\nSaya tidak pernah mengkhianati dia, justeru saya menolong dia.\nMenurut Kamus Dewan Perdana (2020: 925) pula, kata justeru mencakupi tiga maksud, seperti yang berikut:\ni.\u00a0 kebetulan, pada ketika yang sama.\nKenapa justeru sekarang ini engkau harus pergi?\nii.\u00a0 kata hubung untuk menghubungkan dua bahagian dalam ayat bagi mengukuhkan maksud yang dinyatakan.\nBiduanita itu bukan sahaja pandai menyanyi justeru pandai menggubah lagu.\niii.\u00a0 Penanda wacana atau kata pangkal ayat yang membawa maksud \u201cjadi\u201d atau \u201coleh itu\u201d. Justeru, kita hendaklah berwaspada apabila berjalan di tempat yang sunyi.\nSelain itu, dalam Kamus Dewan Perdana (2020: 925), terdapat frasa justeru itu. Frasa tersebut diberi maksud \u201coleh sebab itu\u201d. Contoh ayat dengan frasa itu adalah seperti yang berikut: Justeru itu, penggunaan telefon bimbit hendaklah diharamkan di sekolah.\nSelepas kita meneliti catatan dalam tiga buah kamus tersebut, kita dapat merumuskan penggunaan kata justeru dengan membuat analisis seperti yang berikut:\ni.\u00a0 Kata justeru merupakan kata adverba yang bermaksud \u201ckebetulan\u201d, \u201ctepat\u201d atau \u201ckena benar\u201d. Oleh itu, kita dapat menghasilkan sejumlah ayat dengan kata justeru, dan kata yang bersinonim dengannya. Sila lihat contoh yang berikut:\na.\u00a0 \u00a0 Mengapakah justeru sekarang engkau harus pergi?\nb.\u00a0 \u00a0Mengapakah kebetulan sekarang engkau harus pergi?\nc.\u00a0 \u00a0 Mengapakah tepat sekarang engkau harus pergi?\nd.\u00a0 \u00a0 Mengapakah kena benar sekarang engkau harus pergi?\nii.\u00a0 \u00a0Kata justeru merupakan kata hubung gabungan setara dengan susunan fakta yang berturutan, sama seperti kata hubung gabungan malahan dan bahkan. Selain itu, kata hubung ini boleh juga berpasangan dengan bukan sahaja untuk menghasilkan kata hubung gabungan berpasangan seperti bukan sahaja . justeru. Hal ini dapat menerbitkan pelbagai ayat yang seerti. Sila lihat contoh yang berikut:\n1.\u00a0 \u00a0Kata justeru sebagai kata hubung gabungan tunggal\na.\u00a0 Sekali-kali tidak pernah saya mencaci dia, justeru saya memuji dia.\nb.\u00a0 Sekali-kali tidak pernah saya mencaci dia, malahan saya memuji dia.\nc.\u00a0 \u00a0Sekali-kali tidak pernah saya mencaci dia, bahkan saya memuji dia.\n2.\u00a0 Kata justeru sebagai anggota kata hubungan gabungan berpasangan\na.\u00a0 \u00a0Biduanita itu bukan sahaja pandai menyanyi, justeru pandai menggubah lagu.\nb.\u00a0 \u00a0Biduanita itu bukan sahaja pandai menyanyi, malahan pandai menggubah lagu.\nc.\u00a0 \u00a0 Biduanita itu bukan sahaja pandai menyanyi, bahkan pandai menggubah lagu.\nd.\u00a0 \u00a0Biduanita itu bukan setakat pandai menyanyi, justeru pandai menggubah lagu.\ne.\u00a0 \u00a0Biduanita itu bukan sekadar pandai menyanyi, justeru pandai menggubah lagu.\nf.\u00a0 \u00a0 Biduanita itu bukan hanya pandai menyanyi, justeru pandai menggubah lagu.\ng.\u00a0 \u00a0Biduanita itu bukan pandai menyanyi sahaja, justeru pandai menggubah lagu.\nh.\u00a0 \u00a0Biduanita itu bukan pandai menyanyi semata-mata, justeru pandai menggubah lagu.\ni.\u00a0 \u00a0Biduanita itu bukan pandai menyanyi semata-mata, tetapi juga pandai\nmenggubah\u00a0 lagu.\niii. Kata justeru menjadi kata pangkal ayat yang berfungsi sebagai penanda wacana, dan membawa maksud \u201cjadi\u201d, \u201coleh itu\u201d, \u201coleh sebab itu\u201d, \u201ckerana itu\u201d atau \u201cjusteru itu\u201d. Penanda wacana ini digunakan untuk mengaitkan dua ayat secara kohesi dan koheren.\u00a0 Sila lihat contoh yang berikut:\nVariasi ayat yang seerti:\na.\u00a0 \u00a0Justeru, kita hendaklah berwaspada apabila berjalan di tempat yang sunyi.\nb.\u00a0 Justeru itu, kita hendaklah berwaspada apabila berjalan di tempat yang sunyi.\nc.\u00a0 Jadi, kita hendaklah berwaspada apabila berjalan di tempat yang sunyi.\nd. Oleh itu, kita hendaklah berwaspada apabila berjalan di tempat yang sunyi.\ne.\u00a0 Oleh sebab itu, kita hendaklah berwaspada apabila berjalan di tempat yang sunyi.\nf.\u00a0 Kerana itu, kita hendaklah berwaspada apabila berjalan di tempat yang sunyi.\ng.\u00a0 Oleh hal (yang) demikian, kita hendaklah berwaspada apabila berjalan di tempat yang sunyi.\nh.\u00a0 Disebabkan hal demikian, kita hendaklah berwaspada apabila berjalan di tempat\nyang sunyi.\nSebagai penanda wacana, kata justeru atau justeru itu menghubungkan ayat yang didahuluinya dengan ayat yang sebelumnya. Ayat contoh yang berada di hadapan kelompok ayat di atas adalah seperti yang berikut:\nKejadian jenayah semakin menjadi-jadi kini.\niv.\u00a0 Kata hubung gabungan justeru dapat bergandingan dengan kata hubung lain untuk menghasilkan ayat majmuk campuran. Sila lihat ayat contoh yang berikut:\nJika kita melancong, kita bukan sahaja dapat berseronok, justeru kita dapat menghayati keindahan alam dan mengenali budaya yang rencam di tempat lain.\nAyat di atas merupakan ayat majmuk campuran. Hal ini terbukti kerana ayat tersebut memuatkan pelbagai jenis kata hubung untuk menghasilkan struktur ayat yang kompleks. Kata hubung tersebut adalah seperti yang berikut:\na.\u00a0 Kata hubung pancangan keterangan syarat: jika\nb.\u00a0 Kata hubung gabungan berpasangan: bukan sahaja . justeru\nc.\u00a0 Kata hubung gabungan: dan\nd.\u00a0 Kata hubung pancangan relatif: yang" "Konsert Pesta Haiwan Tampilkan Lagu Rakyat Kanak-kanak Klasik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Lagu-lagu rakyat klasik negara kita yang terkenal dalam kalangan kanak-kanak kembali bergema di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 3 dan 4 Jun 2022 lalu menerusi pementasan konsert Pesta Haiwan (The Carnival of the Animals).\n\nAntara lagu yang dipersembah oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) secara instrumental (rangkaian/bersendirian), termasuklah rangkaian Ikan Kekek dan Kenek-kenek Udang; serta Anak Itik Tok Wi, dan Burung Kakak Tua, dengan Bangau Oh Bangau, serta Oh Bulan, dan Gelang Si Paku Gelang secara bersendirian. Konsert persembahan OSK ini ditaja oleh Centrestage Vision Dynamic.\nLagu yang popular dalam kalangan kanak-kanak prasekolah turut menarik perhatian penonton yang sebahagian besarnya kanak-kanak, iaitu Satu Labah-labah turut dipersembah dengan aksi seekor labah-labah yang dilakonkan menjelma di pentas. Oleh sebab takut, tiga watak itik menghalaunya. Setelah serangga itu tiada, watak itik mengajak kanak-kanak dalam kalangan penonton naik ke pentas Panggung Sari menyanyikan lagu itu dengan iringan muzik oleh OSK.\nOSK juga tidak lupa dengan kemasyhuran semasa apabila memainkan rangkaian lagu runut bunyi siri animasi televisyen terkenal, Upin & Ipin, iaitu Gembira Bermain dan Sahabat Selamanya.\nPesta Haiwan yang digubah oleh komposer Perancis, Camille Saint-Saens membawa penonton ke dalam kehidupan setiap haiwan yang diwakili instrumen muzik berbeza untuk setiap satunya. Untuk pementasan selama dua hari itu, persembahan instrumental OSK dipimpin oleh Nasran Nawi.\nBermula dengan kerajaan haiwan di daratan sehinggalah kepada kumpulan ikan di lautan, penonton dibawa menikmati kisah kehidupan haiwan tersebut di habitat semula jadi mereka dalam bentuk muzikal.\nIstimewa dan tidak semua orang pernah menyaksikannya, pementasan dalam segmen pertama Pesta Haiwan itu menceriakan dan memukau penonton melalui pelbagai karakter haiwan dan persembahan khas hasil sentuhan pelukis pasir, Bernice Wong secara langsung.\nBernice dari Pulau Pinang, menjadi individu penting dalam penghasilan pelbagai karakter haiwan dan persembahan khasnya telah menceriakan penonton.\nAntara haiwan yang ditampilkan sambil Bernice melukis dengan pasir itu termasuklah pengenalan serta perarakan diraja singa, ayam betina dan ayam jantan, kura-kura, gajah, kanggaru dan dinosaur yang hanya tinggal rangka." "Kempen #GoJalanLah Tawar Diskaun sehingga 35 Peratus\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nShah Alam \u2013 Tourism Malaysia dan syarikat penerbangan Firefly telah menjalinkan kerjasama melalui pelancaran pengiklanan badan pesawat serta kempen #GoJalanLah yang bermula dari 1 Jun 2022 sehingga 31 Mei 2023 dalam usaha meningkatkan promosi pelancongan domestik.\nMelalui kempen ini, bahagian hadapan badan pesawat Firefly dihiasi dengan logo Cuti-Cuti Malaysia bagi menggalakkan rakyat Malaysia\u00a0 untuk melancong di pelbagai lokasi pelancongan menarik di dalam negara. Bukan itu sahaja, visual kreatif produk pelancongan menarik beserta logo sambutan ulang tahun ke-50 Tourism Malaysia turut dipaparkan di dalam pesawat.\nPelancaran kempen tersebut yang berlangsung di Sky Park RAC Industrial Park Bukit Jelutong, Shah Alam pada 4 Jun 2022 yang lalu telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YB Dato\u2019 Sri Nancy Shukri.\nDalam ucapan perasmiannya, beliau berkata, kerjasama pintar yang dijalinkan oleh kedua-dua pihak ini merupakan satu daripada inisiatif bagi merangsang semula pertumbuhan ekonomi negara menerusi sektor pelancongan.\n\u201cSaya amat mengalu-alukan usaha Firefly dalam melebarkan sayap penerbangannya dari Pulau Pinang ke Sabah dan Sarawak dan diharapkan langkah ini dapat menggalakkan lebih banyak penerbangan dua hala yang menghubungkan pergerakan rakyat antara Malaysia Timur dengan Semenanjung Malaysia khususnya dari wilayah utara,\u201d katanya lagi.\nFirefly juga menawarkan pelbagai pakej percutian dan tiket penerbangan menarik melalui kempen #GoJalanLah.\nSementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Firefly pula berkata, pihaknya bersedia untuk menyokong inisiatif kerajaan dalam menyemarakkan pelancongan domestik khususnya dari segi penawaran tiket penerbangan pada kadar istimewa selain promosi menyeluruh di platform media sosial mereka.\n\u201cKami teruja untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif ini dan pihak kami berharap dapat memberikan lebih inspirasi dan pendedahan dalam mempromosikan pelbagai tarikan pelancongan serta keunikan destinasi di dalam negara di samping menghubungkan para pelancong dengan budaya tempatan melalui pelancaran livery yang menggarapkan elemen Cuti-Cuti Malaysia,\u201d tambahnya lagi.\nKempen #GoJalanLah menawarkan pembelian tiket penerbangan berserta hotel penginapan pada harga diskaun sehingga 35 peratus. Tempahan boleh dibuat di www.fireflyz.com.my hingga tarikh 30 Jun 2022 bagi tempoh perjalanan hingga 31 Disember 2022 ini. Di samping itu, orang ramai juga boleh menikmati tawaran hebat untuk pembelian tiket penerbangan pergi dan balik ke semua destinasi kendalian Firefly pada harga bermula RM188, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan." "\u201cMitos, mistik dan sejarah, gabungan tiga elemen dalam penerokaan dunia haiwan di alam Melayu.\u201c \u2013 Dr. Azharudin Mohamed Dali\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Penulis buku dan pensyarah Universiti Malaya, Dr. Azharudin Mohamed Dali menyatakan mitos, mistik dan sejarah termasuk dalam skop kajian beliau dalam penghasilan buku Dunia Haiwan di Alam Melayu: Mitos, Mistik dan Sejarah ketika menjadi pembicara dalam Bicara Buku di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada petang tadi.\nBeliau menyatakan terdapat dua sebab utama yang menjadi penggalak untuk menceburkan diri dalam penerokaan ini iaitu terpengaruh dengan rakannya yang memiliki minat mendalam terhadap buaya; dan kurangnya bilangan ahli sejarah tempatan yang mengkaji bidang haiwan dengan lebih mendalam.\nMenurut beliau lagi, sebenarnya masyarakat Melayu terdahulu memiliki ilmu serta kemahiran yang tinggi berkenaan binatang sehinggakan mereka mampu berkomunikasi dan memahami binatang tersebut.\nIlmu orang Melayu terdahulu tentang haiwan cukup luar biasa. Kita ada pawang untuk haiwan tertentu. Ada pawang harimau yang tidak tahu tentang ilmu buaya, ada pawang buaya yang tidak tahu tentang ilmu gajah.\n\u201cNamun begitu, tahap kemahiran pawang-pawang ini dalam menguasai sesuatu jenis binatang itu adalah sehingga mampu berkomunikasi dengan binatang tersebut,\u201d jelas beliau.\nWalau bagaimanapun, peristiwa berkenaan orang yang mampu berkomunikasi dengan buaya misalnya, sukar untuk dibuktikan kesahihannya memandangkan sejarah konvensional bergantung kepada dokumen.\nOleh sebab itu, beliau menggabungkan ketiga-tiga elemen iaitu mitos, mistik dan sejarah sebagai judul buku tersebut.\nMengulas lebih lanjut berkenaan buku ini, terdapat empat jenis binatang yang dihuraikan secara mitos, mistik dan sejarah masing-masing iaitu harimau, gajah, buaya dan kuda.\nBuku ini boleh didapati di reruai DBP bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Program Bicara Buku ini berakhir dengan acara pemberian cenderamata kepada Dr. Azharudin Mohamed Dali oleh Ketua Unit Sains dan Kemanusiaan Bahagian Buku Umum, Encik Armin Azahari Saleh." "Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Berkenan Melancarkan Buku The Malays: Pathfinders and Trailblazers\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sultan Perak, Sultan Nazrin Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan melancarkan buku terbaharu tulisan Orang Kaya Kaya Seri Agar DiRaja, Tan Sri Dato\u2019 Seri DiRaja (Dr.) Haji Ramli Ngah Talib yang berjudul The Malays: Pathfinders and Trailblazers, terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (IBM) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.\nSultan Nazrin melalui titah pelancaran buku tersebut berkata, \u201cBuku ini dikarang oleh anak kelahiran Pasir Salak, di sebuah kampung yang sangat bersejarah. Dalam batang tubuhnya mengalir darah penyandang gelaran Datuk Sagor (Ngah Kamdin) yang dijatuhi hukuman mati akibat insiden pembunuhan J.W.W. Birch.\u201c\nKini, pada tahun 2022, Ramli Ngah Talib pula tampil ke hadapan, menyanggah secara intelek dan ilmiah dalam usaha membasuh arang yang diconteng terhadap bangsa Melayu. Beliau menghalakan minda dan tenaga dengan menghasilkan tulisan untuk menyuntik harga diri dan semangat kebangsaan.\nTitah baginda, \u201cBuku seperti ini mengingatkan kita betapa pentingnya untuk belajar mengenai sejarah. Buku ini menghamparkan santapan minda tentang perkara yang dapat membantu Melayu melayari sejarahnya.\u201c\nPada majlis tersebut, penulis, Ramli Ngah Talib berkata, \u201cTuanku Sultan Perak amat mengambil berat tentang buku The Malays: Pathfinders and Trailblazers. Baginda memiliki perpustakaan yang besar dan minat terhadap buku.\u201c\nSepintas lalu, orang Melayu merupakan yang pertama menongkah arus angin dari hadapan. Kebolehan menentang angin orang Melayu adalah lebih pantas. Mereka berlayar merentas selat hingga ke Afrika \u00e2\u02c6\u2019 semuanya kerana perdagangan. Kemudian, orang Arab menemui orang Melayu yang menggunakan layar yang lebih efisien. Malah, teknik ini turut ditiru oleh orang Mediteranean sehinggakan orang Eropah turut meniru dan menggunakan layar tersebut untuk menakluk orang Melayu.\nPada hakikatnya, teknik pelayaran orang Melayu yang telah mencetuskan perdagangan antarabangsa. Pada abad ketiga, orang Melayu sudahpun mempunyai hubungan perdagangan dengan Timur Tengah, 100 tahun sebelum wujudnya Laluan Sutera.\nKata Ramli Ngah Talib, buku The Malays: Pathfinders and Trailblazers lebih fokus kepada Malaysia. Penulisan buku ini merupakan usaha beliau untuk mencungkil sejarah orang Melayu malah beliau berhasrat untuk melihat orang muda ingin tahu tentang sejarah bangsa.\nPengetahun tentang sejarah kegemilangan bangsa boleh melonjakkan keyakinan dan jati diri dan satu-satunya cara untuk mencapai kemajuan sama seperti kaum lain." "Ratu Irama Tradisional Malaysia Dilantik sebagai Duta CSR Pelancongan Seni dan Budaya\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Jika Dato\u2019 Sri Siti Nurhaliza diiktiraf sebagai penyanyi nombor satu negara, dan Ella terkenal dengan jolokan ratu rock tanah air, Noraniza Idris pula ialah ratu irama tradisional Malaysia.\nAtas kedudukan tersebut, Noraniza atau nama sebenarnya, Nor Aniza Idris, 53 tahun, beberapa kali ditawarkan oleh individu yang mahu mencadangkan beliau dikurniakan gelaran Datuk.\nWalau bagaimanapun, anak kelahiran Kluang, Johor yang lebih mesra dipanggil Kak Ani ini mengakui telah menolak tawaran tersebut kerana merasakan beliau belum benar-benar layak menyandangnya. Jelas Noraniza, beliau segan untuk \u201cmemikul\u201d gelaran Datuk kerana belum memberikan sumbangan besar, dan juga bukan jutawan yang mampu membantu orang lain.\nBegitu pun, hakikat tetap hakikat kerana Noraniza merupakan salah seorang penyanyi terbaik Malaysia yang berjaya melahirkan banyak album solo selain Datuk M. Nasir, Anita Sarawak, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Dato\u2019 Khadijah Ibrahim, Dato\u2019 Jamal Abdillah dan Ramlah Ram.\nKita wajar menghormati alasan dan pendirian Noraniza itu. Namun demikian, barangkali tidak wajar jika beliau turut menolak pelantikan sebagai duta yang relevan atas segala jasa, dan kebolehannya dalam bidang seni suara tanah air.\nSetelah memulakan kerjaya nyanyian pada tahun 1985, Noraniza yang cukup sinonim dengan lagu-lagu berentak irama tradisional Malaysia dan etnik kreatif menerusi 13 buah album solo, beberapa buah album kompilasi dan duet, serta banyak meraih kejayaan dalam anugerah besar muzik tanah air, dan masih teguh memperjuang irama budaya, wajar dilantik sebagai Duta Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pelancongan Seni dan Budaya.\nNoraniza dilantik bersama-sama suaminya, Haji Jefrri Iman Haji Hoodi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif NIPV Management Sdn. Bhd. (NIPV) dalam majlis Pelantikan Duta Tanggungjawab Sosial Korporat Pelancongan Seni dan Budaya, dan pelancaran Skim \u201cRumahku Syurgaku\u201d di sebuah hotel terkemuka pada 7 Jun 2022 yang lalu.\nMajlis tersebut dianjurkan oleh MRF Consultant Sdn. Bhd. (MRF) dengan kerjasama Persatuan Tatihseni Malaysia. Dalam ucapannya, Pengerusi MRF, Dato\u2019 Seri Baba Ali memberitahu pihaknya telah bergiat dalam bidang hartanah sejak tahun 2002. Bermula dengan konsultasi projek kecil-kecilan, MRF mendapat kepercayaan dalam projek berskala sederhana.\nKini, tambah Dato\u2019 Seri Baba, MRF mula bergerak dalam usaha sama untuk projek berskala besar, yang mempunyai impak besar kepada ekonomi negara, seperti pembinaan, rumah kediaman, projek lebuh raya, hospital, perladangan, petroleum, pendidikan dan pelancongan.\n\u201cNamun begitu, MRF tidak melupakan satu bahagian penting dalam jaluran ekonomi, iaitu membantu golongan masyarakat yang menjadi tunjang kepada rantaian ekonomi \u2013 rakyat berpendapatan rendah dan sederhana,\u201d tegas beliau.\nMRF membuka pintu bagi penglibatan dalam bentuk CSR bagi program yang dinamakan \u201cRumahku Syurgaku\u201d dan mengumumkan kerjasama dengan NIVP.\n\u201cMRF melantik Noraniza dan Jeffri sebagai duta pelancongan seni dan budaya bagi menjalankan kegiatan memartabatkan kesenian dan kebudayaan negara agar terus hidup mekar dalam membudayakan rakyat Malaysia supaya terus kekal, dan tidak melupai asal usul kesenian nenek moyang mereka,\u201d jelas Dato\u2019 Seri Baba.\nKerjasama ini juga, tambah beliau, sedikit banyak dapat membantu mempromosikan \u201cRumahku Syurgaku\u201d MRF dalam acara-acara yang dijalankan oleh Noraniza-Jeffri di seluruh negara.\n\u201cMRF berharap kerjasama ini berjalan lancar, dan memohon sokongan semua pihak, terutamanya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia,\u201d kata Dato\u2019 Seri Baba lagi.\nObjektifnya adalah untuk memaklumkan secara rasmi penubuhan pusat CSR pelancongan seni dan budaya MRF yang berperanan membantu golongan masyarakat melalui aktiviti yang dianjurkan, di samping menggalakkan pembangunan penerbitan irama tradisional Malaysia yang lebih agresif, serta meringankan sedikit bebanan para penggiat seni yang telah terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19.\nObjektif ini seiring dengan matlamat Persatuan Tatihseni Malaysia dalam menganjurkan program CSR ini adalah untuk melestarikan kesenian, dan kebudayaan Malaysia secara menyeluruh.\nPendekatan CSR budaya dan modal insan bagi memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat, sambil membantu penggiat seni yang terkesan teruk akibat pandemik global COVID-19.\nSementara itu, dalam ucapannya, Jeffri memberitahu beliau berperanan sebagai penggalak semangat akhlak dalam program modal insan. Katanya, Persatuan Tatihseni Malaysia dan NIVP bekerjasama untuk memupuk nilai-nilai murni kepada generasi masa kini menerusi kegiatan yang dianjurkan.\n\u201cKehadiran saya juga seiring dengan matlamat pengasas program modal insan yang membawakan modul berteraskan pelancongan, kesenian dan kebudayaan, iaitu Noraniza sendiri, yang telah menjalankan kegiatan CSR bersama-sama masyarakat secara turun padang sejak tahun 2008,\u201d tambahnya.\nSebagai suami dan rakan seperniagaan Noraniza, tegas Jeffri, secara jujur beliau mengagumi semangat perjuangannya yang bukan untuk kepentingan peribadi, tetapi prihatin dalam mengangkat seni dan budaya ke tahap yang lebih baik menerusi kegiatan yang dijalankan.\nAntara program CSR akan datang yang telah disusun oleh Noraniza, jelas Jeffri, ialah Siri Jelajah Empayar Akar Kita Zapin Nusantara 2022 di 15 lokasi. Tambah beliau, ini merupakan siri jelajah musim kelima.\n\u201cSejak prapelancarannya pada 10 Disember 2021, diikuti di Bukit Mertajam pada 20 Mei lalu, dan di Kuching pada 24 Jun nanti, promosi mendekati seni budaya zapin ini dijangka berakhir pada 16 September akan datang dengan program peringkat Nusantara sebagai acara kemuncak,\u201d kata Jeffri yang bersyukur usaha Noraniza selama ini medapat perhatian MRF.\nSemua acara seperti bengkel zapin, bengkel muzik sinkretik dan ciptaan lagu zapin, bengkel lakonan teater sejarah Melayu yang dianjurkan dalam siri jelajah, tambah beliau, telah disasarkan kepada golongan berusia lima tahun ke atas secara percuma tanpa yuran." "Balai Gambang: Kenderaan Ketika Pertabalan Sultan Perak\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSampan, perahu, bot, kapal dan bahtera tidak asing lagi dalam kehidupan manusia. Kesemuanya kenderaan air, iaitu di sungai dan di laut, serta digunakan oleh semua peringkat umur dan latar belakang kehidupan. Suasana di sekitar atau di kiri kanan mana-mana sungai sama sahaja selagi tidak mengalami perubahan akibat projek pembangunan atau sesuatu bencana alam.\nSaya tertarik untuk menyentuh tentang perasaan atau pengalaman yang dirasai semasa menaiki kenderaan air yang berbeza-beza seperti sampan, perahu, bot, kapal dan bahtera. Melihat pemandangan persekitaran ketika bersampan tidak sama dengan semasa menaiki bot, apatah lagi bot laju.\nSelain Sungai Perak yang harus dikunjungi dan ditatapi dengan duduk bersantai di tebingnya jika datang ke Bandar Diraja negeri Perak, iaitu Kuala Kangsar, terdapat sebuah kenderaan air untuk menelusuri sungai tersebut (walaupun dalam jarak yang terhad) yang tidak wajar ditinggalkan. Istimewanya, daripada kenderaan diraja, kini kenderaan tersebut menjadi kenderaan untuk orang awam menikmati pemandangan alam sewaktu masa lapang, sama ada berseorangan ataupun bersama-sama keluarga atau rakan-rakan.\nKenderaan air tersebut dikenali sebagai Balai Gambang yang telah wujud sejak tahun 1754. Balai Gambang tersendiri dan eksklusif kerana dibina bersempena dengan pertabalan Paduka Seri Sultan Perak.\nSebenarnya, Balai Gambang telah diperkenalkan oleh Sultan Iskandar Zulkarnain, iaitu Sultan Perak ke-15. Hal ini dikatakan demikian kerana baginda dianggap memerlukan bot yang besar untuk berpindah tempat semayam ke Pulau Indera Sakti yang terletak di Kampung Gajah pada tahun 1754.\nWalaupun wujud dalam sejarah Perak bermula pada tahun tersebut, tetapi Balai Gambang mula digunakan sebagai alat kelengkapan khusus untuk istiadat pertabalan, iaitu semasa pertabalan Sultan Perak ke-16, Sultan Mahmud Shah atau Marhum Muda kira-kira 16 tahun kemudian.\nSejak hari mula-mula diperkenalkan untuk kegunaan pertabalan, hinggalah tahun 1948 semasa pertabalan Sultan Yussuf Izzuddin Shah, Sultan Perak ke-32, Balai Gambang diperbuat daripada buluh kuning atau buluh gading.\nKetika pertabalan Sultan Idris Shah II pada tahun 1963 sebagai Sultan Perak ke-33, kayu dan besi pula digunakan menggantikan buluh, sekali gus menjadikan Balai Gambang sebuah binaan yang lebih teguh, dan kemas mengikut arus kemodenan.\nPenggantian kegunaan buluh kuning atau buluh gading dengan kayu, serta besi ini diteruskan sehingga pertabalan sultan yang terbaharu \u2013 sultan sekarang \u2212 iaitu Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah sebagai Sultan Perak yang ke-35, di Kampung Gajah, pada 13 Mei 2015.\nBalai Gambang membawa Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menziarahi makam-makam Sultan Perak menghilir ke Teluk Intan melalui Sungai Perak dari kawasan Litar Datuk Sagor, Kampung Gajah pada tarikh tersebut.\nMakam tersebut ialah Makam Almarhum Sultan Mahmud Shah, Sultan Perak ke-16 di Kampung Pasir Pulai, Almarhum Sultan Abdul Malik Mansur Shah, Sultan Perak ke-19 di Kampung Bandar Baru, Almarhum Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda, Sultan Perak ke-17 di Kampung Teluk Memali, Almarhum Sultan Shahabuddin Riayat Shah, Sultan Perak ke-21 di Tanjung Penangguh, dan Sultan Iskandar Dzulkarnain, Sultan Perak ke-15 di Pulau Indera Sakti, Pasir Panjang Ulu.\nIstiadat kesultanan negeri Perak yang menggunakan Balai Gambang umpama kenderaan menuju ke kayangan. Kenderaan khas untuk pertabalan Sultan Nazrin itu dinamakan Cempaka Sari, dan menjadi simbolik kepada kesultanan Perak.\nCempaka Sari ini dibina khas bagi istiadat pertabalan Sultan Perak ke-35 oleh 35 orang kakitangan Jabatan Kerja Raya Perak, serta 13 orang tenaga pakar, dan pelajar Institut Teknologi Kejuruteraan Marin, Universiti Kuala Lumpur Malaysia (UniKL MIMET) Lumut.\nBot khas berkenaan yang kini dipanggil Balai Gambang Cempaka Sari, berukuran 12.2 meter panjang dan 6.1 meter lebar. Beratnya mencecah 4.5 tan, serta mampu membawa 10 hingga 15 orang penumpang pada satu-satu masa.\nBalai Gambang Cempaka Sari digerakkan oleh tiga buah enjin sangkut yang masing-masing berkuasa kuda 150 cc. Balai Gambang yang kini menjadi kenderaan pelancongan di bawah kelolaan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak bermula tahun 2015, boleh membawa kira-kira 25 orang penumpang pada satu-satu masa dan setiap kali pelayaran mengambil masa setengah jam.\nDua puluh kaki payung ubur kuning yang dipasang pada Balai Gambang Cempaka Sari mempunyai makna yang tersendiri. Kesemuanya ditanggalkan selepas upacara pertabalan selesai. Ubur kuning ini merupakan salah satu alat kebesaran raja-raja Melayu yang dihasilkan daripada kain sutera berwarna kuning, dan digunakan dalam istiadat rasmi. Warna kuning ialah warna yang dipandang mulia, serta menjadi warna kebesaran diraja. Bahagian atas payung ini dipasang anak bulan dan bintang.\nPada masa sekarang, Balai Gambang Cempaka Sari hanya berlayar pada hari Sabtu dan Ahad dari pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang. Kadar tambang yang dikenakan ialah RM15 seorang bagi dewasa, serta warga emas dan kanak-kanak pula RM10 seorang. Jika membeli lima keping tiket, penumpang akan diberikan sekeping tiket percuma." "Kukuhkan Cinta kepada Sastera, Seni dan Budaya \u2212 Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Meluangkan masa di gubuk kecil Galeri Melora Sehidang Kopi dan Buku bertemu mata dengan Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, memanglah saat yang amat dinanti-nantikan penulis. Apatah lagi kegembiraan Farhati Aiman, Wartawan Nona\u00a0TV3 lebih mengujakan momen penulis bersama-sama Sasterawan Negara yang lebih mesra dipanggil \u201cBonda\u201c ini.\nMata tertancap pada set busana dan buku-buku yang dipamerkan di galeri ini sambil memerhatikan Bonda Sasterawan Negara dirapikan dan bersiap sedia untuk diwawancara.\nPemilihan SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail sebagai tokoh yang diwawancara oleh rancangan popular televisyen ini amatlah tepat kerana figura Sasterawan Negara yang kaya dengan citra suri yang bijaksana juga memiliki sifat keibuan yang tinggi serta menonjolkan kesepaduan insan yang serba berbakat, sudah tentu figura seperti ini wajar diketengahkan oleh stesen TV nombor satu negara ini.\nBerbicara panjang lebar bersama-sama Farhati, Bonda amat teruja kongsikan bagaimana pengalaman masa kecilnya yang dipupuk dengan citra budaya keluarga dan masyarakat yang dekat dengan resapan nubarinya telah membina bakat sastera dan seni yang ada dalam dirinya.\nMelalui perkongsian ini juga, Bonda berharap agar usaha lebih pintar dapat dilaksanakan oleh semua pihak khususnya Dewan Bahasa dan Pustaka dalam memupuk penjiwaan sastera, seni dan budaya yang seiring dalam kalangan generasi muda.\nBeliau dapati generasi pada hari ini mempunyai kreativiti dan berupaya melahirkan karya-karya hebat dalam pelbagai genre penulisan serta melalui medium baharu, namun apa-apa yang menyedihkan beliau, hasil kreativiti ini belum sampai ke tahap menyerlahkan semangat jati diri warisan budaya bangsa. Katanya, amatlah penting seorang seniman, artis ataupun penulis mempunyai pemahaman dan penghayatan kepada sejarah bangsanya, warisan negaranya serta mencintai asal leluhurnya.\nBagi beliau, dengan kesungguhan yang ada pada seseorang dalam perihal ini sudah tentu akan mengaktifkan molekul sastera, seni dan budaya yang akhirnya akan dapat ditumpahkan kepada karya-karyanya, tidak kiralah sama ada karya kreatif medium baharu, seni halus, seni tampak, seni reka fesyen, seni menulis dan sebagainya.\nKita mesti mengaktifkan semangat cintakan sastera, seni dan budaya sejak usia muda lagi.\nBeliau juga melontarkan kebimbangannya berhubung dengan pengekalan citra busana yang semakin terhakis dalam masyarakat moden hari ini bahawa busana ini mempunyai simbolik yang sangat mendalam, bukanlah sewenang-wenang busana itu direka begitu begini sehingga mencelakan falsafah di sebalik rekaan satu-satu busana. Sebagai bangsa yang mempunyai sejarah peradaban yang hebat, kita semua bertanggungjawab memastikan sastera, seni dan budaya ini akan kekal dalam diri kita dan generasi seterusnya.\nPertemuan yang berlangsung tiga jam ini diakhiri dengan deklamasi puisi oleh Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail daripada buku beliau yang telah \u00a0dilancarkan semasa berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini. Baca dan hayatilah perkongsian saya ini kerana daripadanya ada sesuatu yang saya sampaikan khususnya tentang manusia yang di dalam (masyarakat orang asli)." "Pelawak Legenda, Hamid Gurkha Meninggal Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pelakon komedi veteran tanah air, Hamid Gurkha atau nama sebenarnya, Abdul Hamid Abdul Rahman meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang petang semalam. Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota Raja selepas solat isyak pada hari yang sama.\nDalam hantaran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melalui Facebook FINAS Malaysia, FINAS menyatakan,\nFINAS dengan rasa sedih dan dukacita ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga seniman veteran dan karyawan seni yang dihormati serta dikasihi, Allahyarham Abdul Hamid Abdul Rahman ataupun lebih dikenali sebagai Hamid Gurkha yang telah meninggal dunia pada hari Selasa, 14 Jun 2022 pada usia 90 tahun. Sesungguhnya jasa dan perjuangan seni Allahyarham akan terus dikenang dan terpahat dalam lipatan sejarah industri. Semoga Allah SWT menempatkan Allahyarham dalam kalangan mereka yang soleh dan beriman.\nHamid Gurkha mula dikenali melalui komedi, Panglima Badol yang diterbitkan pada 1978 dan turut membintangi filem Gila-gila, Sikit Punya Gila, Ragam Pemandu dan Zombi Kampung Pisang.\nBeliau mendirikan rumah tangga dengan Timah Abdul Hamid dan dikurniakan lapan orang zuriat, 32 orang cucu dan 18 orang cicit. Pada tahun ini, Hamid menginjak usia 90 tahun.\nSemoga Allahyarham Hamid Gurkha ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh. Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham." "Karyawan Filem Tempatan, Prebet Sapu Bersaing dalam MGGA 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Penulis lakon layar, pengarah sinematografi, dan pelakon lelaki utama filem yang menjadi buah mulut peminat filem tempatan sejak penghujung tahun 2021 hingga kini, Prebet Sapu turut tercalon untuk kategori masing-masing dalam Anugerah Global Emas Malaysia (MGGA) 2022 yang akan diadakan di Istana Budaya (IB) pada 16 Julai hadapan.\nPrebet Sapu atau dalam MGGA 2022 ini disebut sebagai Hail, Driver! sendiri turut tercalon sebagai 10 Buah Filem Teratas (Top 10 Films) bersama-sama Drowning in Holy Water dari Iran, Full Time (Perancis), Memoryland (Jerman-Vietnam), No Ground Beneath the Feet (Bangladesh), Rehana (Singapura-Bangladesh), The Silent Forest (Taiwan), Two Friends (India), Whether the Weather is Fine (Filipina-Singapura) dan White Building (Perancis-Kemboja).\nKaryawan filem Prebet Sapu itu ialah Muzzamer Rahman (yang juga pengarah) dalam kategori Lakon Layar Terbaik, Hafiz Rashid dan Fairuz Ismail (Sinematografi Terbaik) dan Amerul Affendi (Aktor Terbaik).\n\nSementara itu, dua orang tokoh perfileman negara, iaitu pelakon Sharifah Amani dan penulis/penerbit filem, Amir Muhammad antara yang dilantik sebagai ahli jawatankuasa pemilihan bersama-sama lima orang tokoh lain.\nPerkara ini diumumkan semasa majlis pengumuman senarai pencalonan MGGA 2022 oleh Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) ke-5 dan MGGA 2022 sendiri di sebuah kompleks beli-belah terkemuka dekat pada 15 Jun 2022 yang lalu. Dalam majlis tersebut, MIFFest ke-5 juga mengumumkan bahawa Tourism Malaysia akan menyertai festival tahun ini sebagai pihak sokongannya.\nBerdasarkan senarai, filem Two Friends mengungguli pencalonan apabila tercalon dalam lima buah kategori, dengan dua pelakon utamanya, Arif Shaikh (berumur 10 tahun) sebagai Safikul dan Asik Shaikh (berusia sembilan tahun) sebagai Palash, sama-sama dicalonkan dalam kategori Aktor Terbaik. Oleh sebab itu, mereka merupakan calon termuda dalam MGGA setakat ini.\nSecara keseluruhan, lebih 100 buah filem menyertai MGGA 2022. Majlis tersebut turut mengumumkan lima orang tokoh atau penggiat filem yang diundang sebagai juri MGGA 2022, iaitu Christine Hakim (aktres veteran Indonesia) sebagai Presiden Juri, Lav Diaz (pembikin filem Filipina), Sabrina Baracetti (Presiden Festival Filem Timur Jauh Udine), serta Ho Wi Ding (pengarah Malaysia yang berpangkalan di Taiwan) dan Chong Keat Aun (pengarah Malaysia).\nDua orang tokoh veteran perfileman, iaitu Kim Dong-Ho dan Hou Hsiao-Hsien pula telah dipilih untuk menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.\n\u201cAnugerah ini sepatutnya disampaikan kepada Dong-Ho dan Hsiao-Hsien pada tahun 2020,\u201d jelas Pengerusi MIFFest ke-5 dan MGGA 2022, Joanne Goh dalam ucapan beliau. Malangnya, tambah Joanne, pihak beliau terpaksa menangguhkannya oleh sebab COVID-19. Menurut beliau lagi, Dong-Ho dan Hsiao-Hsien telah menghasilkan banyak karya yang terkenal untuk festival-festival, dan seluruh industri filem.\n\u201cDong-Ho merupakan salah seorang pengasas Festival Filem Antarabangsa Busan, dan Festival Filem Antarabangsa Gangneung, selain Presiden Kehormat MIFFest. Tanpa bimbingan beliau, saya mungkin gagal meneruskan penganjuran MIFFest dan MGGA kerana tidak bersemangat,\u201d katanya lagi.\nSementara itu, bersempena dengan MIFFest ke-5, dan MGGA 2022 ini, turut diadakan tayangan filem-filem hebat dari beberapa negara. Senarai filem terkenal akan ditayangkan dalam beberapa kategori tayangan, iaitu Pawagam Dunia, Pawagam Asia, dan Pawagam Malaysia.\nMenurut pengumuman tersebut, perasmian MIFFest ke-5 akan dimulakan dengan tayangan filem Edge of the World dari Amerika Syarikat yang membawa kisah Kapten James Brooke menjadi pemerintah Sarawak selama beberapa tahun.\nEdge of the World menjalani penggambaran sepenuhnya di Sarawak, dan disokong oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB). Difahamkan, STB gembira apabila menerima berita filem ini akan ditayangkan semasa MIFFest ke-5.\nPengarah Edge of the World, Michael Haussman sendiri, serta pelakon Josie Ho, Bront Palarae dan pelakon lain dijadualkan bertemu dengan penonton semasa majlis perasmian MIFFest ke-5 pada 10 Julai 2022 nanti.\nBersempena dengan MIFFest ke-5 juga turut diadakan Pemasaran Projek MIFFest Pertama pada 12 dan 13 Julai 2022 untuk mencari projek filem cereka yang berpotensi di malaysia. Dalam acara itu, kelima-lima pilihan rasmi akan berpeluang bertemu dengan penerbit, pengedar, serta pelabur tempatan, dan antarabangsa untuk membincangkan projek-projek mereka.\nAntara yang menjadi juri untuk Pemasaran Projek MIFFest ke-5 termasuklah pelakon Wu Ke-Xi, Keoh Chee Ang (penerbit) dan Vijay Munisamy (penerbit eksekutif).\nPada majlis pengumuman tersebut, pengacara turut mengumumkan lima pilihan rasmi yang terpilih, iaitu Don\u2019t Assume Still Waters, arahan Leysha Al-Yahya, The Depths (David Yanez), Sunny, Benny & Jenny (Jin Ong), Garek (Cech Adrea), dan Maybe Today, If Not Today, Maybe Tomorrow.\nJika MGGA 2022 berlangsung di IB, MIFFest ke-5 akan diadakan di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur\u00a0 dari 10 hingga 15 Julai 2022. MGGA 2022 akan disiarkan di Unifi TV (siaran langsung di Malaysia), Viu TV HK (siaran tertangguh di Hong Kong), dan YouTube MIFFest (siaran langsung di seluruh dunia). Untuk maklumat lanjut tentang festival tersebut, layari miffest.com.my." "JKKN Anjurkan Festival Kesenian Rakyat Kelate Selama Tiga Hari\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan menganjurkan Festival Kesenian Rakyat Kelate (FKRK) 2022 selama tiga hari, mulai 16 hingga 18 Jun 2022 di Pantai Geting, Tumpat.\n\nFKRK yang mula dilaksanakan pada tahun 2017 kembali menemui masyarakat pada tahun ini setelah tidak dapat dilaksanakan pada tahun 2020 dan hanya dianjurkan secara dalam talian pada tahun lalu akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara kita pada ketika itu.\nFKRK 2022 mengetengahkan pelbagai pengisian dan program menarik kepada para pengunjung yang hadir dalam usaha untuk memperlihatkan keunikan seni, budaya dan makanan yang ada di Kelantan.\nPertandingan mewarna, Battle of the Bands, pertandingan Akhir Dikir Barat FKRK, persembahan wayang kulit dan pelbagai lagi permainan tradisional dan sukan rakyat dapat disaksikan oleh para pengunjung yang hadir.\nSelain pelbagai persembahan seni dan pertandingan, terdapat juga pameran gerai jualan serta program interaktif yang diadakan sepenjang tiga hari festival itu berlangsung.\nSudah tentu antara yang paling dinantikan ialah malam Gala FKRK 2022 yang akan menampilkan persembahan apresiasi gendang Kelantan yang menggabungkan alatan muzik tradisional seperti Rebana Ubi, Rebana Panjang Siam, Rebana Kercing dan Rebana Mangkuk, iaitu sejenis alat gendang yang diperbuat daripada mangkuk getah dan kesebuan rebana ini hanya terdapat di Tanah Merah, Kelantan.\nPenganjuran FKRK 2022 diharapkan dapat menyebarluaskan dan merakyatkan seni budaya terutamanya seni budaya negeri Kelantan kepada semua lapisan masyarakat sebagaimana matlamat penganjurannya oleh JKKN." "Taat Setia kepada Bahasa Melayu sebagai Bahasa Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKUALA LUMPUR \u2013 Sambutan Hari Kebangsaan yang berbaki beberapa hari sahaja lagi yang bertemakan \u201cMalaysia Prihatin\u201d tentunya membawa pengertian yang cukup besar kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya ketika negara sedang berdepan dengan pandemik COVID-19 yang telah pun meragut banyak nyawa rakyat ketika ini.\nSaban tahun juga, pelbagai program dianjurkan oleh pelbagai pihak demi memperingati detik bersejarah bagi negara ini. Namun begitu, di sebalik kemeriahan sambutan tersebut terselit persoalan yang sehingga kini gagal dijawab secara tepat. Apakah pengisian kemerdekaan dalam jiwa dan sanubari rakyat Malaysia itu benar-benar bererti bahawa kita sudah merdeka?\nDalam konteks ini, lihatlah kedudukan bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan yang sepatutnya menyatukan kita. Di manakah kedudukannya? Apakah bahasa Melayu benar-benar didaulatkan sebagai bahasa kebangsaan? Jika benar, di manakah buktinya dan jika tidak, mengapakah keadaan sedemikian berlaku?\nHakikatnya, maruah bahasa perlu dipertahankan oleh setiap warganegara kerana bahasa kebangsaan menunjukkan sifat kepunyaan bagi setiap warganya. Bahasa Melayu ialah bahasa yang perlu ditekankan yang merangkumi tiga nilai yang harus disemai dalam diri seseorang warganegara Malaysia. Antaranya termasuklah berasa bangga menjadi warganegara ini, menjunjung ketinggian perlembagaan dan fasih berbahasa Melayu.\nBahasa Melayu pada hari ini juga masih belum merdeka sepenuhnya kerana beribu-ribu istilah yang digunakan dalam urusan perniagaan dan dagangan lain diterima masuk. Tiada salahnya mengambil dan menggunakan bahasa itu tetapi jika tiada ketertiban dalam penggunaan bahasa itu, maka kita masih lagi belum merdeka. Penggunaan bahasa luar itu perlulah ditapis. Sekiranya ada bahasa atau istilah \u00a0tempatan, maka tidak perlulah memasukkan bahasa luar.\n\u201cAda segelintir dalam kalangan masyarakat yang bercakap dalam bahasa rojak. Contohnya, jarang-jarang sekali anggota masyarakat yang berpendidikan tinggi yang berkomunikasi sepenuhnya dalam bahasa Melayu kerana masih banyak yang mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Hal ini tidak seharusnya berlaku dan kita perlu terus memugarkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Agensi kerajaan pada hari ini juga perlu memainkan peranannya dengan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya ketika berkomunikasi dan pihak atasan perlu menekankan penggunaannya secara konsisten dan tegas.\u201d\nDemikianlah penerangan yang disampaikan oleh YB Senator Tan Sri Dato\u2019 Seri Utama Dr. Rais Yatim, selaku Yang Di-Pertua Dewan Negara, semasa menyampaikan ceramahnya dalam Program Webinar Bahasa Jiwa Bangsa: Merdekakah Kita? anjuran Yayasan Budi dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang bersiaran langsung secara dalam talian menerusi Google Meet pada pukul 2.30 petang tadi melalui Facebook DBP.\nPanel lain yang turut serta menjayakan program ialah Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Profesor Emeritus Dato\u2019 Dr. Teo Kok Seong dan Profesor Dr. Sivamurugan Pandian. Moderator program pula ialah Dr. Abang Patdeli Abang Muhi." "Mengetengahkan Semula Teater Jikey\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nJitra \u2013 Pada 16 Jun 2022 yang lalu, telah berlangsungnya majlis Wacana Kearifan Tempatan: Jikey Teater Tradisional Langkawi anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah dan Institut Pendidikan Guru Kampus Darul Aman (IPGKDA). Majlis ini diadakan di Dewan Besar IPGKDA, Jitra, Kedah dan disiarkan secara langsung melalui YouTube dan Facebook rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan IPGKDA.\n\nMajlis dimulakan dengan sesi syarahan budaya oleh Pengarah JKKN Kedah, Puan Sabarina Masadi, diikuti persembahan Color of Malaysia (COM) oleh JKKN Kedah. Majlis diserikan dengan kehadiran dan ucapan oleh (Pengarah DBPWU), Tuan Rahimi Arifin dan pengarah IPGKDA, Tuan Haji Hashim Asman. Hadirin seterusnya dihiburkan dengan persembahan jikey bahagian pembukaan oleh Kelab Seni Budaya IPGKDA.\nSesi wacana kearifan tempatan seterusnya dilangsungkan pada pukul 11.15 pagi dengan kendalian moderator, Puan Syahidatul Munirah Badrul Munir dan barisan ahli panel, iaitu Encik Mohd Faisol Rahim, Encik Mohd Yazi Kerya dan Encik Muhammad Izzat Md Isa. Sesi wacana memfokuskan teater tradisional Melayu jikey yang pernah popular di wilayah utara Semenanjung Malaysia dan wilayah selatan Thailand. Di Malaysia, teater ini mendapat sambutan hangat di Pulau Langkawi.\nPelbagai aspek dalam pementasan teater jikey disentuh seperti aspek pensejarahan, bentuk dan struktur, estetika persembahan, lagu, adat dan ritual, sosiologi masyarakat, keunikan, cabaran, kelestarian sehinggalah perkembangan terkini. Buku tulisan Encik Muhammad Izzat Md Isa berjudul Jikey: Teater Warisan Langkawi terbitan Penerbit Universiti Utara Malaysia tahun 2022 diraikan dalam wacana ini bagi memberikan pendedahan kepada pembaca, peminat teater dan khalayak awam.\nAhli panel bersepakat bersetuju bahawa teater jikey merupakan satu-satunya teater tradisi yang mengetengahkan semangat Keluarga Malaysia. Keistimewaan ini didasari dengan kemunculan watak pelbagai kaum, iaitu Tuan Keling (saudagar Muslim dari India), Raja (pembesar tempatan) dan Pek Sen (peniaga berketurunan Cina). Selain itu, watak Perempuan Keling dan Awang turut melengkapkan watak dan cerita. Begitu juga dengan nilai dan unsur didaktik yang ada dalam persembahan jikey dan teater tradisional Melayu yang lain.\nMajlis ini membuka ruang kepada generasi muda untuk mengenali satu lagi seni persembahan tradisional tempatan terutamanya di Kedah, selain teater tradisional mek mulung. Hadirin yang rata-ratanya penuntut semester akhir bakal membina kerjaya dalam bidang perguruan di harap dapat menghayati, beroleh manfaat daripada hasil sesi wacana bagi melengkapkan diri dan membantu perkembangan seni budaya dalam kalangan pelajar sekolah pada kemudian hari. Majlis juga turut dihadiri oleh aktivis teater, penggiat seni budaya dan pensyarah dari universiti berhampiran.\nMajlis ini merupakan pengisian kepada aktiviti bersempena Dekad Bahasa Kebangsaan 2022 peringkat negeri Kedah. Majlis ini juga dilengkapkan dengan sesi jualan buku oleh pihak DBP dan JKKN Kedah. Pihak penganjur berharap wacana seumpama ini dapat diteruskan lagi dengan pemugaran kepada pelbagai jenis seni budaya khazanah warisan bangsa yang lain lagi untuk pengetahuan masyarakat umum, terutamanya generasi muda." "Negara Kehilangan Penghibur Tanah Air Berbakat Besar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Seluruh negara berdukacita atas pemergian penyanyi lagu Terlalu Istimewa, Adibah Noor akibat barah ovari tahap empat di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, pada 18 Jun 2022 yang lalu.\nPemergian Adibah Noor, atau nama sebenarnya Adibah Noor Mohamed Omar ini sememangnya mengejutkan seluruh negara kerana beliau menyembunyikan keadaan kesihatannya daripada orang ramai.\nMenurut sumber berita tempatan, bapa beliau juga tidak mengetahui akan keadaan kesihatan anak ketiganya itu. \u201cSaya tidak tahu . Arwah tidak beritahu walaupun saya ayahnya. Saya pergi ke hospital pun, dia tidak beritahu,\u201d jelas bapanya dalam suatu kenyataan.\nPemergian Adibah Noor turut mendapat perhatian Perdana Menteri, YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob. Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata,\nPenggiat seni tanah air, Adibah Noor Mohamed Omar telah pergi mengadap Ilahi malam tadi.\nPenyanyi lagu \u2018Terlalu Istimewa\u2019 itu bukan sahaja sangat berbakat dalam bidang nyanyian, tetapi menyerlah dalam industri lakonan serta pengacaraan.\nTakziah kepada keluarga Allahyarhamah dan didoakan semoga mereka tabah menghadapi kehilangan ini.\nSemoga Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.\nSama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarhamah Adibah Noor.\nAdibah Noor mula berkecimpung dalam industri seni tanah air apabila menyertai pertandingan nyanyian Suara 90-an Nescafe dan muncul sebagai juara dalam pertandingan tersebut.\nSeniwati serba boleh ini juga bukan sekadar penyanyi, malah merupakan seorang pelakon, pengacara, pengisi suara, dan bakat iklan yang terkenal di Malaysia.\nBekas guru bahasa Inggeris ini turut dikenali sebagai pencinta kucing dan memiliki serta memelihara lebih daripada 30 ekor kucing di rumahnya.\nJenazah Allahyarhamah Adibah Noor dimandikan, dikafankan dan disolatkan di Masjid al-Ansar, Taman Keramat serta dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2 Taman Keramat. Takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga beliau." "FKRK 2022 Mendapat Sambutan Meriah Rakyat Kelantan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTumpat \u2013 Negeri Kelantan yang sudah terkenal dengan jolokan negeri berbudaya, lubuk seni, tanah serendah sekebun bunga dan negeri Cik Siti Wan Kembang cukup sinonim sebagai sebuah negeri yang mempunyai keunikan serta kaya dengan seni budaya rakyatnya.\nFestival Kesenian Rakyat Kelate (FKRK) 2022 yang diadakan selama tiga hari, pada 16 hingga 18 Jun 2022 di Pantai Geting, Tumpat, anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Majlis Daerah Tumpat (MDT) dan Pusat Penerangan dan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) merupakan program yang dinanti-nantikan oleh rakyat Kelantan.\nProgram FKRK 2022 bertujuan untuk menampilkan kekayaan seni dan budaya negeri Kelantan yang merangkumi persembahan, demonstrasi, pameran dan jualan produk negeri Kelantan yang aktivitinya selain penggiat seni juga melibatkan pengunjung dan masyarakat setempat.\nSelain pameran dan jualan yang merangkumi agensi persekutuan dan negeri, swasta, institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persembahan seni budaya anjuran Kelab Seniman Jalanan Kota Bharu diselaraskan oleh JKKN Kelantan seperti persembahan Makyung Ekstravaganza Patuh Syariah bertajuk \u201cRaja Besar Maha Gading\u201d, Wayang Kulit, Pertandingan Battle of the Bands, Pertandingan Dikir Barat (Akhir), Karaoke Kencang Gegar, Pertandingan Memasak \u201cJeliro Kelantan Bersama Adabi\u201d, Pertandingan Abe Klate (Badan Cantik), Pertandingan Biri-biri Jangok serta pelbagai permainan tradisional dan sukan rakyat turut diadakan. Sementara itu, demonstrasi pula melibatkan permainan gasing, wau bulan, pembuatan keris, pertandingan mewarna dan aktivit kesenian rakyat Kelantan lain.\nMajlis perasmian dilakukan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Norazman Othman yang mewakili Menteri, YB Dato\u2019 Sri Nancy Shukri.\nMenurut Norazman, penganjuran program ini merupakan satu daripada usaha kerajaan membuka lebih banyak peluang kepada penggiat seni dan budaya serta pemain industri pelancongan dalam mengetengahkan produk seni budaya dan pelancongan ke peringkat yang lebih meluas.\n\u201cSaya yakin, keunikan dan keistimewaan kesenian tradisional dapat dijadikan salah satu daya tarikan kepada pengunjung luar untuk datang melawat negara kita. MOTAC sentiasa memastikan kesenian tradisional yang ada dapat dipromosikan dan dipopularkan di luar negara melalui pelbagai medium selari dengan perkembangan teknologi semasa,\u201d katanya.\nKatanya lagi, saya amat berharap semua pihak termasuk penggiat seni dan komuniti setempat dapat memainkan peranan membantu kementerian dan JKKN dalam memulihara dan mengembangkan seni budaya warisan nenek moyang khususnya kepada golongan muda dengan memanfaatkan media sosial dan kemahiran digital.\n\u201cUsaha pembangunan dan penyemarakan semula aktiviti pelancongan, seni dan budaya sedang giat dilakukan oleh kementerian melalui jabatan dan agensi seperti pejabat MOTAC negeri, Tourism Malaysia, JKKN, Kraftangan Malaysia, Jabatan Warisan Negara dan Istana Budaya.\n\u201cSaya memuji pihak berkuasa tempatan terutama Majlis Daerah Tumpat yang telah mengambil inisiatif bekerjasama dengan komuniti setempat dan jabatan kerajaan yang lain dalam menghidupkan destinasi tumpuan pelancongan yang bukan sahaja menawarkan kemudahan penginapan dan makan minum, bahkan menjadikan aktiviti seni budaya masyarakat setempat sebagai faktor tarikan pelancong,\u201d tambahnya.\nUjarnya, FKRK 2022 dianggarkan mampu menarik sebanyak 30 ribu pengunjung daripada pelbagai peringkat masyarakat, dari dalam dan luar Kelantan. Festival ini telah membuka lebih banyak peluang kepada penggiat industri untuk mengetengahkan produk seni dan budaya dengan lebih meluas selain menggalakkan program kesenian tradisional dapat dipromosikan dan dipopularkan ke luar negara.\nBerhubung dengan perkara yang sama, katanya, masyarakat Kelantan cukup menghargai kesenian dan tidak menjurus kepada sesuatu musim tertentu sahaja. Aktiviti kesenian atau disebut menne boleh dilihat dan dinikmati setiap hari kerana sentiasa dihidupkan dan menjadi rutin bagi masyarakatnya.\nBagi menjayakan program FKRK 2022, JKKN bekerjasama dengan 36 jabatan dan agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri serta 14 NGO, serta mendapat sokongan dan tajaan daripada sembilan syarikat swasta, iaitu MG Group of Companies, Makmur Gold, Ritz IT, 100 Plus, Adabi Consumer Industries, FR Kaseh Marketing Sdn. Bhd., WMD Store, Gegar FM dan Vita Gold Heath Sdn. Bhd. sebagai penaja utama.\nTurut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat; Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Haji Mesran Mohd Yusop; Ketua Jajahan Tumpat, Rusydee Abdullah; tokoh-tokoh dan penggiat seni budaya negeri Kelantan." "Sambutan 25 Tahun Festival Muzik Hutan Hujan Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSantubong \u2013 Bermula pada 17 Jun 2022, Kampung Budaya Sarawak tidak putus-putus menerima kedatangan pengunjung yang datang untuk menyaksikan Festival Muzik Hutan Hujan Dunia (Rainforest World Music Festival \u2013 RWMF) 2022. Festival pada tahun ini yang bertemakan \u201c25th Legendary Rainforest Celebration\u201d, diumpamakan Puteri Santubong yang terjaga daripada lena setelah dua tahun festival bertaraf antarabangsa ini tidak memeriahkan bumi Santubong ekoran pandemik COVID-19. Yang menariknya juga, RWMF pada kali ini dianjurkan secara hibrid, iaitu persembahannya boleh disaksikan secara langsung di Kampung Budaya Sarawak ataupun secara maya. Festival muzik berskala besar ini juga meraikan sambutan ulang tahun ke-25 penganjurannya yang bermula pada tahun 1998.\nFestival Muzik Hutan Hujan Dunia yang merupakan acara tahunan dalam kalendar aktiviti Kampung Budaya Sarawak yang berlangsung selama tiga hari, bermula pada 17 Jun hingga 19 Jun 2022.\nBerakhir dalam suasana yang cukup meriah dengan kawasan yang menempatkan pentas utama bagi persembahan RWMF dipenuhi oleh pengunjung, ternyata festival ini berjaya mencapai sasarannya menarik lebih 12 ribu pengunjung.\nSebelum berlangsungnya RWMF 2022, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato\u2019 Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah telah mengadakan tinjauan tapak festival di Kampung Budaya Sarawak pada 16 Jun 2022 untuk melihat persiapan akhir penganjuran festival yang membuka tirainya pada 17 Jun 2022. Dalam lawatan tersebut, beliau berkata, berikutan beberapa negara masih melaksanakan sekatan perjalanan disebabkan oleh COVID-19, dijangka sejumlah 12 ribu pengunjung akan memeriahkan festival yang berlangsung selama tiga hari di Kampung Budaya Sarawak. Menurut beliau lagi, pengunjung yang tidak dapat hadir secara fizikal boleh menyaksikan RWMF secara maya melalui tiket berharga RM25. Daripada hasil jualan tiket itu nanti, sebanyak RM10 akan disumbangkan untuk Program ecoGreenPlanet yang merupakan inisiatif penghijauan oleh Lembaga Pelancongan Sarawak melalui penanaman 4500 pokok bakau.\nKejayaan mencapai sasaran pengunjung diakui oleh Pengarah Festival Muzik Hutan Hujan Dunia 2022, Puan Mona Abdul Manap yang menyatakan sambutan daripada pengunjung yang datang untuk menyaksikan RWMF 2022 sangat menggalakkan dan sesuatu yang di luar jangkaan. \u201cSelama tiga hari festival berlangsung, dianggarkan sekitar 12 ribu hingga 15 ribu orang pengunjung turut serta dalam pelbagai bengkel budaya yang diadakan, dengan semua slot aktiviti berkenaan dipenuhi oleh peserta serta mendapat sambutan yang positif daripada pelbagai pihak,\u201d demikian jelas Puan Mona Abdul Manap.\nDalam sidang media berkaitan dengan RWMF 2022 yang berlangsung di Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak pada 14 Jun 2022, Dato\u2019 Sri Haji Abdul Karim telah menyempurnkan pelancaran buku RWMF yang berjudul The Rainforest World Music Festival: A Journey of 25 Years. \u201cBuku ini mengisahkan permulaan RWMF apabila hanya 300 orang hadir ke Kampung Budaya Sarawak untuk perhimpunan kecil peminat muzik dunia. Buku ini juga membawa pembaca melalui setiap tahun penganjuran RWMF sehingga menjadi salah satu festival yang paling digemari dan diraikan oleh peminat muzik dari seluruh pelusuk dunia,\u201d demikian ulas Dato\u2019 Sri Haji Abdul Karim tentang buku tersebut.\nSeperti yang berlangsung sebelum ini, RWMF 2022 menampilkan penghibur dari pelbagai negara seperti China, Australia, India, Singapura, Indonesia, Kanada, Estonia, Itali, Jepun, Madagascar, Amerika Syarikat dan Vietnam. Pada tahun ini, RWMF menampilkan lebih banyak persembahan individu berbanding dengan RWMF sebelum ini.\nAntara artis tempatan dan penggiat muzik tradisional, terutamanya sape yang turut hadir membuat persembahan muzik tradisional ialah Alena Murang, At Adau, Sang Rawi, Kemada, Tuku Kame, Suk Binie\u2019, Nading Rhapsody dan Mathew Ngau. Kesemua pemuzik, sama ada pemuzik tempatan atau luar negara membuat persembahan dengan gaya dan bunyi yang tersendiri sambil memainkan alat muzik tradisional, sama ada dalam bentuk kecapi, tali ataupun melalui pengucapan bahasa yang disertai bunyi muzik.\nPersembahan pada malam pembukaan memperlihatkan sejumah 5000 pengunjung memenuhi kawasan pentas persembahan. Yang pastinya, RWMF 2022 mendapat tajaan dan sokongan daripada banyak pihak. Festival yang memberikan impak besar kepada pelancongan Sarawak ini juga turut dihadiri oleh Timbalan Premier Sarawak, Dato\u2019 Sri Dr. Sim Kim Hui, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Nancy Shukri, dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato\u2019 Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.\nSelain persembahan muzik pada waktu malam, RWMF juga diisi dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat pada waktu siang seperti bengkel amali tentang muzik, pameran budaya dan kraftangan, persembahan tarian dan permainan tradisional mengikut etnik yang terdapat di Sarawak." "Bahasa Melayu dalam Jati Diri Masyarakat Peranakan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan Malaysia dan digunakan sebagai bahasa rasmi dan tidak rasmi dalam komunikasi dalam kepelbagaian masyarakat di negara ini. Namun begitu, kefasihan bertutur bahasa Melayu masih cenderung dikaitkan dengan penutur natif bahasa tersebut, iaitu kaum Melayu. \nKaum minoriti, seperti Cina dan India, tidak dilihat sebagai penutur natif, dan umum berpandangan bahasa Melayu tidak dianggap sebagai sebahagian daripada jati diri mereka. Hanya sekumpulan kecil dalam kalangan etnik minoriti ini yang berjaya memecahkan stereotaip ini dan menjadikan bahasa Melayu sebagai sebahagian daripada jati diri mereka, iaitu masyarakat peranakan.\nMasyarakat peranakan di Semenanjung Malaysia tidak seperti di negara lain di Asia Tenggara yang sinonim dengan etnik Cina sahaja. Selain peranakan daripada etnik Cina, seperti komuniti Baba dan Nyonya di Melaka, komuniti Cina Selat di Pulau Pinang, komuniti Cina Kampung di Kelantan dan komuniti Cheng Mua di Terengganu, kita turut mempunyai peranakan daripada etnik-etnik lain seperti India (komuniti Chetti Melaka), Melayu (komuniti Peranakan Jawi), dan Eropah (komuniti Peranakan Serani atau Kristang). Masyarakat peranakan terbentuk di Semenanjung Malaysia jauh lebih awal daripada kedatangan kuasa Inggeris dan seterusnya menetap di sekitar kawasan pusat perdagangan maritim lama, seperti di Melaka, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.\nSatu ciri penting yang dikongsi dalam masyarakat peranakan ini ialah medium komunikasi mereka yang tidak lengkap tanpa bahasa Melayu. Kadar dan bentuk penggunaan bahasa Melayu dalam masyarakat peranakan adalah berbeza-beza mengikut komuniti. Bagi sesetengah komuniti, seperti komuniti Baba dan Nyonya dan komuniti Chetti di Melaka, masing-masing tidak lagi bertutur dalam bahasa Cina atau Tamil sebagai bahasa ibunda. Sebaliknya bertukar kepada dialek yang unik kepada komuniti itu sendiri, iaitu Melayu Baba atau Melayu Chetti.\nBagi komuniti peranakan yang lain, bahasa ibunda mereka yang merupakan dialek suku asal dikekalkan, namun sarat dengan pengaruh elemen dialek Melayu tempatan, sama ada daripada segi kosa kata, tatabahasa atau sebutan. Komuniti Peranakan Serani di Melaka menggunakan bahasa kreol Kristang Portugis yang terhasil daripada bahasa Portugis lama disulami dengan bahasa masyarakat tempatan di Melaka. Manakala di Kelantan, dialek Cina Kampung yang menjadi bahasa ibunda komuniti tersebut walaupun mengekalkan dialek suku asal, iaitu Hokkien, menerapkan bukan sahaja kosa kata tetapi juga tatabahasa dialek Melayu Kelantan. Selain itu, bahasa mereka juga mengandungi pengaruh dialek Siam tempatan.\nMasyarakat peranakan beranggapan percakapan bahasa ibunda mereka tidak lengkap tanpa dimasukkan elemen bahasa Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana sesetengah kosa kata dialek suku asal telah hilang dan digantikan dengan bahasa Melayu. Kemunculan bahasa ibunda masyarakat peranakan juga berlaku dalam bentuk lisan tanpa diiringi bentuk tulisan, menyebabkan ditulis menggunakan sistem tulisan yang umum digunakan dalam masyarakat tempatan masa itu, seperti Jawi atau Rumi.\nMasyarakat peranakan secara tradisionalnya merupakan bilingual, iaitu fasih bahasa ibunda dan bahasa Melayu. Kesan daripada penguasaan bahasa Melayu yang baik, masyarakat peranakan selesa hidup bersama-sama dengan masyarakat tempatan. Anak-anak peranakan sejak dari kecil menggunakan bahasa Melayu untuk bermain dan bersekolah bersama-sama dengan anak-anak masyarakat tempatan lain. Masyarakat peranakan turut berkongsi cara hidup dan menikmati aktiviti hiburan dan permainan yang berasaskan bahasa Melayu, seperti pantun, dondang sayang, wayang kulit, dan produk budaya popular Melayu, seperti filem dan lagu oleh Tan Sri P. Ramlee.\nSelain kefasihan bertutur bahasa Melayu, penampilan dan pembawaan diri masyarakat peranakan juga seiras orang Melayu. Selain pengaruh persekitaran, hal ini terhasil daripada amalan perkahwinan campur yang lazim berlaku dengan masyarakat tempatan, terutamanya pada zaman dahulu. Persamaan ini menyemarakkan perasaan selesa dan keterbukaan antara masyarakat peranakan dengan masyarakat tempatan, terutamanya masyarakat Melayu. Malah, jika saling tidak mengenali, masyarakat umum yang berada di luar kawasan penempatan masyarakat peranakan mudah tersalah anggap bahawa orang peranakan sebagai orang Melayu.\nKefasihan dan kepetahan berbahasa Melayu dalam masyarakat peranakan cukup tinggi sehingga mereka sering disalah anggap sebagai Melayu. Insiden ini lebih mudah berlaku apabila masyarakat peranakan berpindah keluar dari negeri asal ke negeri lain untuk pekerjaan, pengajian, ataupun mendirikan kehidupan baharu. Dalam kalangan masyarakat peranakan, kedengaran cerita wanita peranakan ditegur kerana tidak menutup aurat, terutamanya rambut, manakala lelaki peranakan disoal kerana disyaki Muslim yang tidak berpuasa semasa bulan Ramadan.\nDi luar penempatan asal, kefasihan berbahasa Melayu mendatangkan cabaran kepada masyarakat peranakan untuk bergaul dengan golongan arus perdana kumpulan etnik mereka. Dalam interaksi intraetnik, ciri-ciri \u201ckeperanakanan\u201d masyarakat ini tidak diraikan. Tidak berbahasa Mandarin atau Tamil bagi Peranakan Cina dan India menyebabkan mereka tidak dianggap sebagai orang Cina atau India \u201ctulen\u201d.\nPandangan serong sebegini menyebabkan masyarakat peranakan janggal untuk turut serta dalam aktiviti kumpulan etnik masing-masing. Sebagai misalnya, sesetengah Peranakan Cina kekok untuk berkunjung ke kedai makanan Cina kerana tidak mampu membaca tulisan Cina dan bertutur dalam bahasa Mandarin. Ada yang segan kerana tidak mahir makan menggunakan penyepit dan ada pula yang ditegur peniaga kerana menggunakan dialek Hokkien yang salah.\nApabila pengkategorian masyarakat pelbagai etnik di Malaysia diberi penekanan dalam hampir segala urus tadbir kerajaan, masyarakat pada peringkat akar umbi mahu tidak mahu turut mengguna pakai sistem empat kategori kaum tersebut, iaitu Melayu, Cina, India dan Lain-lain. Masyarakat peranakan dirangkumkan ke dalam kategori kaum yang sama dengan golongan arus perdana etnik yang sama. Komuniti Baba dan Nyonya, dan Cina Kampung dan Cheng Mua dalam kategori kaum Cina. Komuniti Chetti Melaka dalam kategori kaum India. Komuniti Peranakan Serani dalam kategori Lain-lain. Akibat persamaan agama selain budaya, hanya komuniti Peranakan Jawi tergolong dalam kategori kaum majoriti, iaitu Melayu, dan seterusnya berstatus Bumiputera Melayu.\nSelain faktor luaran, pencairan keupayaan berbahasa Melayu dan bahasa ibunda masyarakat peranakan turut berlaku akibat faktor dalaman masyarakat itu sendiri. Sebagai komuniti minoriti dalam kategori kaum minoriti, nilai kemahiran berbahasa Melayu dan bahasa ibunda sebagai sebahagian daripada jati diri masyarakat peranakan terabai. Hal ini dikatakan tiada nilai ekonomi seperti bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris.\nMasyarakat ini juga tiada pengiktirafan daripada masyarakat luar yang terikut-ikut dengan stereotaip satu kategori kaum satu bahasa. Seperti dalam sistem pendidikan vernakular, kaum Cina dikaitkan dengan bahasa Mandarin, manakala kaum India sinonim dengan bahasa Tamil. Sebagai kesannya, kemahiran berbahasa Melayu dan bahasa ibunda dalam masyarakat peranakan kian pudar dalam usaha mereka menghantar anak-anak ke sekolah vernakular agar tidak ketinggalan untuk menguasai bahasa ekonomi dan budaya asal yang \u201ctulen\u201d.\nGenerasi muda masyarakat peranakan turut tidak ketinggalan bermigrasi ke luar dari kawasan penempatan asal mereka demi meningkatkan kualiti dan taraf hidup. Tinggal berjauhan daripada keluarga dan sanak-saudara menyebabkan peluang untuk mempelajari dan mempraktikkan kemahiran berbahasa ibunda menjadi terbantut. Sesekali pulang ke kampung, generasi muda tidak lagi dapat berkomunikasi dengan generasi tua dengan baik. Golongan milenium, iaitu generasi muda yang dilahir dan membesar di luar negeri asal, mungkin tidak menyedari latar belakang dan keunikan budaya peranakan yang mereka warisi.\nSecara kesimpulannya, interaksi dan komunikasi antara etnik menjadi lancar apabila setiap pihak sepakat memahami mesej yang disampaikan dalam bahasa yang sepunya. Dalam hal ini, bahasa Melayu merupakan bahasa pengantar antarabangsa yang penting selaku jambatan yang menghubungkan para penutur daripada pelbagai latar belakang kaum, budaya, lokasi geografi, malah ketamadunan. Bagi masyarakat peranakan, kepentingan pengaruh bahasa Melayu dalam kehidupan mereka tidak setakat dalam bentuk kemahiran berbahasa Melayu yang setanding penutur Melayu sendiri, tetapi juga terserlah melalui adaptasi tatabahasa dan kosa kata bahasa Melayu dalam bahasa ibunda. Tidak setakat itu, masyarakat peranakan juga menggunakan skrip budaya Melayu dalam menyampaikan mesej secara halus sebagai sebahagian daripada manifestasi adab komunikasi yang sopan. Pengaruh skrip budaya tempatan ini turut terjelma dalam penuturan bahasa ibunda mereka.\nBagi masyarakat peranakan, kefasihan bertutur bahasa Melayu tidak bermaksud mereka menidakkan jati diri suku kaum asal. Sebaliknya, hal ini merupakan realiti lumrah hidup bersama dalam masyarakat pelbagai etnik yang mendukung ketamadunan anak watan sejak bergenerasi lamanya.\nKemahiran berbahasa Melayu juga dibanggakan oleh masyarakat peranakan sebagai sebahagian daripada jati diri mereka anak watan Malaysia. Oleh hal yang demikian, kemahiran ini seharusnya dirai, diiktiraf dan dipupuk sebagai asas penyatupaduan bangsa Malaysia.\nDr. Pue Giok Hun ialah Felo Penyelidik di Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Penyelidikan dan penulisan beliau berkisar kepada peranakan sebagai fenomena sosial terutamanya tentang isu identiti etnik minoriti dan warisan kebudayaan masyarakat peranakan di Malaysia dengan fokus kepada komuniti Cina Peranakan di Kelantan dan Terengganu. Makalah ini adalah sebahagian daripada hasil projek penyelidikan yang dibiayai Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah Skim Geran Penyelidikan Fundamental (Kod Projek: FRGS/1/2020/WAB01/UKM/02/2)." "Memugar Api dari Suatu Zaman\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u201cSaya berani berkata terus terang bahawa pada masa yang sudah-sudah, masyarakat kita dan kerajaan tidak memberikan penghargaan yang sewajarnya terhadap bahasa Melayu dan penulis Melayu. Sebagai akibatnya, hari ini sangat sukar mencari dan memilih orang yang berkebolehan dalam segala lapangan yang dikehendaki oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu daripada pengarang sehingga jurutaip.\u201d \nItulah kata-kata Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang pertama dalam ucapan sulungnya di radio pada 26 Februari 1957.\n Sejak ditubuhkan 66 tahun yang lalu, DBP tidak pernah sunyi daripada pelbagai gelora yang menerpa. Namun begitu, organisasi tunggal ini tetap berdiri megah dan tidak pernah merudum semangatnya. Bak saham di papan bursa, adakala turun adakala melonjak, namun sedikit pun tidak mempengaruhi DBP. Musim berganti tahun, karyawan berganti insan, sasterawan demi sasterawan, aksara menerbitkan kata, DBP tetap bersama-sama rakyat Malaysia memperjuangkan bahasa dan sastera Melayu sejak ditubuhkan pada 22 Jun 1956, di Johor Bahru, Johor.\nDemi membijaksanakan anak bangsa dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, DBP lahir daripada kesaktian lidah rakyat dan keluk kesedaran yang tinggi daripada galur sejarah yang mahukan bangsa ini merdeka dengan makna yang sebenar tanpa ada campur tangan penjajah. Hal ini termasuklah beriltizam agar bahasanya berdiri mandiri sebagai bahasa yang melambangkan bangsa berdaulat.\nApi perjuangan bagi meletakkan bahasa Melayu sebagai identiti watan merdeka tidak pernah menemukan kelelahan, dan api ini terus sahaja marak dan bergerak seperti sifatnya lingkaran api Pasifik yang menghidupkan gunung berapi bahasa hingga ke seluruh negara, Brunei dan juga Singapura.\nWalaupun terpaksa meniti pengalaman yang berdarah, apabila penjajah melaksanakan dasar pelajaran Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat, iaitu menetapkan bahasa Inggeris sebagai bahasa kemajuan dalam pendidikan anak bangsa, perjuangan menjaga hal ehwal bahasa dan sastera Melayu tetap diteruskan.\nPengalaman yang membuahkan mendung kepada iklim bahasa ini turut dibangkitkan oleh golongan kaum muda dengan terbitnya majalah al-Imam pada tahun 1906 sebagai alat menyuluh minda anak watan pada ketika itu dalam perjuangan mempertahankan bahasa Melayu. Terowong masa perjuangan ini bagaikan babak-babak yang tidak pernah berhenti, ibarat angin monsun yang sentiasa membadai banjaran, namun banjaran tetap teguh dan utuh, demikian juga semangat yang ada kepada pejuang bahasa hingga zaman serba canggih dan pintar ini.\nApi dari suatu zaman milik pewaris dan pejuang bahasa terus sahaja menyala dan menyuluh gelanggang perjuangan bahasa yang merupakan lambang kedaulatan bangsa dan watan. Menyedari hakikat api perjuangan ini memberikan kesan yang lebih besar, Raja-raja Melayu telah memberikan Tujuh Wasiat yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ketika negara mencapai kemerdekaan. Selepas itu, bagi memperkukuh kedudukan istimewa bahasa Melayu, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa bahasa rasmi, iaitu bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia, ialah bahasa Melayu.\nAmanah dan tanggungjawab ini digalas oleh DBP menerusi objektif penubuhannya, iaitu membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang, termasuk sains dan teknologi; memperkembang bakat sastera dalam bahasa kebangsaan; mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan bentuk-bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa lain; membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan; menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul; menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.\nSumber kuasa berdirinya DBP ini berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, Akta 213 \u2013 Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 (Disemak 1978) dan Akta A930 Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (Pindaan Peluasan 1995). Oleh hal yang demikian, umum haruslah memahami tanggungjawab DBP melaksanakan fungsinya berdasarkan sumber kuasa yang telah ditetapkan kepada organisasi ini.\nMenerusi Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang berlangsung pada 22 Mei hingga 24 Mei 2022 yang lalu, Perdana Menteri,\u00a0 YAB Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa penggubalan Akta DBP yang baharu kelak akan berupaya memperkukuh DBP sebagai badan penguasa bahasa bagi memastikan pematuhan dan pelaksanaan amalan berbahasa kebangsaan, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.\nPada usia 66 tahun ini, DBP tidaklah bersifat seperti unit pemprosesan pusat yang sudah tenat atau seperti keadaan dilanda pepijat alaf atau mungkin seperti komputer yang tidak cukup kelajuan. Demikian analogi yang mungkin berlaku untuk meneliti kedinamikan DBP dalam menyediakan perkhidmatan dan membekalkan produk jenama DBP, khususnya sebagai penerbit bagi buku berbahasa kebangsaan, termasuklah untuk pendidikan kebangsaan, dan juga melaksanakan fungsinya menerusi empat jabatan utama, iaitu Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera dan Jabatan Penerbitan.\nKesepaduan dalam merealisasikan wawasan DBP amat penting bagi kesemua jabatan ini demi menggerakkan fungsi DBP secara menyeluruh dalam usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan, khususnya apabila meneliti DBP pada zaman serba canggih ini.\nDBP bukan sahaja sebagai badan yang mengurus tadbir perihal mendaulatkan bahasa Melayu semata-mata, tetapi DBP juga sebagai jenama yang menjana ilmu. Oleh hal yang demikian, DBP agresif dalam menerbitkan pelbagai buku yang dapat memenuhi permintaan pengguna. Selain itu, kecanggihan bidang teknologi telah melebarkan fungsi DBP dalam arena digital dengan adanya Jendela DBP \u2013 Pelantar Penerbitan Digital DBP.\n\nMelalui portal ini, pengguna disediakan dengan pelbagai bahan bahasa dan sastera menerusi slot TV DBP, Radio DBP, liputan e-berita berkisarkan isu semasa dan pengkhususan bidang bahasa dan sastera, e-majalah, portal pembelian buku dan majalah dan perkongsian peka bahasa. DBP juga melangkah dengan yakin dalam bidang penyiaran digital menerusi jenama program Studio Pesona yang disiarkan menerusi integrasi media sosial DBP, iaitu Facebook, YouTube, Twitter, Telegram, Instagram dan Jendela DBP.\nSelain itu, media sosial DBP dilihat cukup cemerlang dalam mengetengahkan bahan-bahan pegun yang berjaya menarik perhatian pengikut media sosial. Bahan-bahan ini diperoleh daripada sumber bahan buku dan majalah terbitan DBP dan diberikan sentuhan kreatif oleh pegawai yang bertanggungjawab mengendalikan media ini. Bentuk kesusasteraan ini sentiasa sahaja \u201cdiremajakan\u201d oleh DBP dengan aktiviti pengembangan yang begitu dinamik. Program melibatkan aktiviti secara dalam talian mahupun menghasilkan karya-karya dalam medium baharu berjaya meningkatkan apresiasi pelbagai pihak kepada bahasa dan sastera.\nLebih daripada itu, dalam era ini juga, DBP dilihat perlu bersedia meningkatkan kualiti dan kemahiran karyawannya untuk menguasai bidang yang khusus bagi meningkatkan citra DBP secara keseluruhannya. Bidang-bidang baharu, seperti penyiaran digital dan penulisan industri kreatif meliputi pelbagai genre menerusi Akademi DBP, dilihat dapat membantu menjenamakan DBP sebagai pusat integrasi media dan industri kreatif dalam melahirkan karyawan yang serba boleh. Dalam perkembangan lain, penulis iklan komersial dan industri kreatif mempunyai permintaan yang tinggi dalam menghasilkan kata pikat produk dalam bahasa Melayu.\nSelain itu, menjadi keperluan untuk memastikan enjin carian bahasa bertaraf dunia milik DBP, iaitu Pusat Rujukan Persuratan Melayu, dalam keadaan stabil dan memuaskan pelanggan. DBP dibanjiri dengan permasalahan bahasa pada setiap hari, dan sudah tentu pengguna meletakkan harapan yang tinggi kepada DBP untuk menyelesaikannya.\u00a0 Bagi jangka masa panjang, mungkin dapat dibina perisian yang lebih cekap dan digunakan pada peringkat antarabangsa serta sektor dinamik yang lain. Aduan berkaitan dengan gangguan kepada enjin carian ini sudah tentunya menjejaskan citra DBP dalam memberikan perkhidmatan bahasa dengan pintar dan pantas.\nDalam perjalanan menempuh dunia digital ini, DBP lebih bersedia dengan jumlah trafik yang tinggi bagi permohonan pengesahan iklan melalui laman sesawang DBP Sah Bahasa. Para petugas diberikan lebih banyak kursus profesional bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan DBP sebagai barisan hadapan memperkasakan bahasa kebangsaan.\nMenerusi Akademi DBP, wajar dianjurkan kursus bahasa asing kepada karyawan DBP agar tahap penguasaan bahasa menjadi lebih berkualiti dan pada masa yang sama turut memesrai bahasa asing. Hal ini dilihat dapat memberikan dampak baharu kepada karyawan DBP.\nKonsep langit terbuka dan dunia tanpa sempadan memberikan dimensi yang amat luas kepada bahasa dan sastera kebangsaan. Bahasa dan sastera kebangsaan bukanlah dilihat hanya dari satu sudut membina negara bangsa, tetapi yang lebih penting bahasa dan sastera menjana kebijaksanaan seseorang.\nKepintaran inilah yang diperlukan oleh negara bagi meluaskan lagi ilmu kepada generasi seterusnya. Amatlah dukacita sekiranya kebijaksanaan ini tidak dapat melahirkan bahan penulisan berbentuk buku mahupun medium baharu dalam bahasa dan sastera kebangsaan. Tiada maknanya sekiranya menjadi bijak pandai, tetapi kebijaksanaan itu tidak memberikan manfaat kepada seluruh anak bangsa lainnya, tetapi yang menuai kebijaksanaan itu hanya diri sendiri dan pihak yang tiada kaitan dengan hasrat memperkasakan negara bangsa.\nBukan lagi masanya tepuk dada tanya selera, barangkali pada angka 66 tahun ini, detiknya kita memugar kembali api dari suatu zaman yang mungkin terpadam dalam diri kita. Walaupun rehal di atas menara itu sudah pun tiada, namun tidak bermakna kobar api kita juga menjadi malap. Ayuh karyawan kita bangkit dan tingkatkan upaya agar kita lahir sebagai pemain utama pada zaman serba canggih ini, bukan semata-mata pengarang dan jurutaip sahaja, tetapi sebagai individu yang terus mendukung citra bahasa dan sastera kebangsaan.\n\nDirgahayu DBP, api dari suatu zaman!" "MAIPs Anjurkan Program Explorace 2022 di Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Perlis \u2013 Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) baru-baru ini menganjurkan program Explorace 2022 \u2013 Program Transformasi Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai, Kuala Perlis. Program tersebut mendapat kerjasama daripada Unit Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Raja Muda Perlis di Pejabat Setiausaha Sulit Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Raja Perlis dan juga kepimpinan masyarakat setempat.\nProgram tersebut disertai oleh 120 orang pelajar di bawah Pertubuhan Kebajian Al-Nidaa\u2019 Malaysia dan juga Pertubuhan Al-Khaadem Malaysia yang datang dari beberapa buah negeri termasuklah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perak, Selangor dan Terengganu.\nTitah DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menutup program tersebut di Dewan Orang Ramai Dataran Semarak di kampung berkenaan,\nSalah satu resepi kejayaan diri seseorang individu itu bermula daripada penguasaan ilmu dan pengamalannya. Sesungguhnya ilmu itu perlu dicari, digali, dikuasai dan diamalkan oleh kita semua, terutama golongan para pelajar ataupun remaja wajib menuntut ilmu secara istiqamah.\nPada masa yang sama juga, pihak-pihak berwajib bertanggungjawab secara langsung dan tidak langsung dalam menyemai serta menyuburkan ilmu-ilmu dunia dan akhirat perlu lebih komited, kreatif dan inovatif lagi dalam memajukan sektor pendidikan agar semua lapisan tiada yang dipinggirkan demi kejayaan negeri dan negara kita pada masa hadapan.\nYang hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Bebas ReGen Rehab Hospital, Dato\u2019 Dr. Zaininah Mohd Zain serta kepimpinan kedua-dua pertubuhan berkenaan.\nDalam ucapan alu-aluan, Haji Mohd Nazim memaklumkan bahawa penganjuran program pada kali ini amat bermakna. Beliau menyampaikan ucapan syabas kerana program tersebut berjaya melibatkan sepenuhnya pengendalian oleh pihak pemimpin dan seluruh lapisan masyarakat yang terlibat dalam Program Transformasi Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai Kuala Perlis tersebut dan boleh dijadikan satu lagi produk pelancongan baharu istimewa yang boleh ditonjolkan lagi di negeri ini khususnya untuk program-program pembinaan pasukan." "Balai Seni Negara Dibuka Semula\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Setelah dua tahun Balai Seni Negara ditutup bagi kerja-kerja naik taraf galeri dan pengubahsuaian bumbung, bermula pada 3.00 petang 21 Jun 2022, Selasa, galeri negara itu dibuka semula kepada khalayak dengan wajah baharu.\u00a0\nMenteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato\u2019 Sri Nancy Shukri, melalui ucapan perasmiannya menyebut, walaupun dihimpit musibah pandemik dua tahun yang lepas, Balai Seni tetap berjuang dalam mengangkat seni visual tempatan.\n\u201cHampir 25 juta pengunjung dalam talian telah dicapai melalui pelbagai aktiviti dan maklumat di media sosial Balai Seni Negara pada tahun 2021.\u201d Hal ini disifatkan beliau sebagai pencapaian yang sentiasa berkembang dan impaknya besar kepada industri seni.\nBalai Seni Negara kini menampilkan NUSA, sebuah pameran koleksi tetap negara yang dipamerkan di galeri Reka, Tun Razak, 2A, 2B dan 3B dengan 466 buah karya yang mengangkat koleksi merangkumi pelbagai aspek namun terkait seperti sosial tempatan, persoalan identiti, sejarah dan sejarawan, kepelbagaian mitologi dan intelektual masyarakat tempatan.\nPemilihan karya NUSA akan merangkumi karya agung yang menyentuh tema dan konsep \u201cTenggara\u201d; yang melangkaui zaman dan era. Antara karya yang akan dipamerkan; Kampung Nelayan karya terkenal Chung Chen Sun yang dikategorikan sebagai khazanah National Heritage di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005; dan koleksi kontemporari seperti Enrique de Malacca Memorial Project oleh Ahmad Fuad Osman yang dilancarkan sejak tahun 2016 hingga kini.\n\u201cPameran NUSA sebagai pembuka tirai adalah selaras dengan wajah baharu Balai Seni Negara yang merakam sejarah dan mengangkat seni kontemporari. Balai seni ini akan memaparkan koleksi bersejarah khazanah negara, sepanjang tiga tahun (2022 \u2013 2025),\u201d ujar Nancy. Beliau merujuk \u201cwajah baharu\u201d pada pengubahsuaian bumbung Balai Seni Negara yang siap pada Mac lalu yang diilhamkan kepada motif \u201cgajah menyusu\u201d.\nSelain pameran tetap, para khalayak turut berpeluang menikmati pelbagai lagi pameran yang menarik, antaranya Pameran Diplomasi Budaya yang merupakan sebuah kerjasama rakan strategik serantau. Berkonsepkan kesenian melalui instalasi media, Walking Through a Songline menunggu ketibaan khalayak di galeri 3A bermula Jun hingga September ini. Walking Through a Songline\u00a0ialah sebuah pameran yang meraikan cerita rakyat Australia.\nPameran yang menampilkan karya artis kontemporari sama ada dalam medium seni rupa, seni arca mahupun gabungan medium, SINGLE atau \u201cHanya Satu\u201d akan dipamerkan di ruangan lobi galeri. Pameran itu mengumpulkan karya-karya yang berinteraksi melalui \u201cdarah muda\u201d, juga mengangkat karya artis generasi muda yang telah meninggalkan impak sama ada secara kebangsaan mahupun antarabangsa. Tiga karyawan yang akan mempamerkan karya mereka tahun ini adalah Shafiq Nordin, Red Hong Yi dan Saiful Razman.\nSelain itu, Balai Seni Negara kini menyelia Art Hospital, sebuah pusat pemuliharaan, penyelenggaraan dan konservasi khazanah seni negara. \u201cMeggunakan teknologi terkini, Art Hospital mampu memberikan standard yang tersendiri untuk memartabatkan lagi khazanah seni negara,\u201d ujar Nancy.\nSementara itu, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, YBhg. Dato\u2019 Indera Dayang Fatimah Tom Abang Saufi sempat menegaskan, \u201cBalai Seni Negara berperanan dalam berkongsi, dan memelihara, mempamer dan mengangkat aktiviti seni visual kerana seni visual ialah satu maklumat.\u201d\nSambung beliau, \u201cBukan sahaja maklumat tentang sejarah seni malah juga merakam sejarah sosial. Menyingkap semula dua tahun menghadap rintangan COVID-19, Balai Seni Negara tidak berhenti bekerja untuk mengangkat martabat seni visual negara dan akan terus mengembangkan pergerakannya.\u201d\nMajlis Perasmian itu disusuli majlis penganugerahan Bakat Muda Sezaman 2021. Pemenang utama Anugerah Bakat Muda Sezaman 2021, Muhammad Hassanuddin bin Yusoff dengan karyanya,\u00a0Red Dining membawa pulang wang tunai RM30 ribu dan sijil penyertaan." "Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan Ditayangkan di 90 Pawagam Mulai Esok\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Dato\u2019 Adiputra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Johan As\u2019ari, Ali Karimi, Ellie Suriati, Geofrrey Andre Feyaerts, Mubarak Majid, A. Galak, Shaharuddin Thamby, Dato\u2019 Jalaluddin Hassan, Farid Amirul, Farah Ahmad, Z. Zambry, serta Yayan Ruhian dari Indonesia antara pelakon Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang menghadiri majlis Tayangan Perdana filem biografi epik tersebut di GSC Starling Mall dekat sini pada 16 Jun 2022 yang lalu.\nMat Kilau: Kebangkitan Pahlawan terbitan Studio Kembara Sdn. Bhd. (Studio Kembara) merupakan filem pertama terbitan syarikat berkenaan yang tampil dan bertekad menawarkan diri menerbitkan filem-filem bermutu tinggi, serta membawa mesej bermanfaat kepada para penonton, serta semua lapisan masyarakat sambil berhibur dengan konsep \u201cHiburan Bermanfaat\u201d.\nMenurut Pengarah Urusan/Penerbit Studio Kembara, Abdul Rahman Mt. Dali, pendekatan yang diambil oleh syarikatnya ini sekali gus membantu kerajaan dalam pembangunan aras fikir masyarakat, menghargai jasa-jasa pejuang lampau, mencintai tanah air, serta sanggup berjuang memajukan agama, bangsa dan negara.\n\u201cDalam jangka masa panjang, Studio Kembara bercita-cita untuk menjadi penerbit filem berwibawa yang mampu bersaing dengan penerbit filem dari luar negara. Diharap dan dijangka filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ini akan mendapat sambutan hangat, serta menjadi penerobos psikologi yang mencetuskan keyakinan baharu kepada pemain industri hiburan tempatan, dan seterusnya melangkah lebih maju,\u201d tegas Abdul Rahman yang hadir bersama-sama adiknya, Shahruddin Dali yang juga penerbit bersama.\nMenjawab soalan pihak media mengapa Mat Kilau yang menjadi pilihan walaupun negara kita ramai pejuang agama, bangsa dan negara, Abdul Rahman menegaskan tokoh tersebut banyak diperkata dalam aspek kebijaksanaan dan keberaniannya.\n\u201cTerdapat juga catatan-catatan pihak British sendiri yang mengakui pengaruh besar Mat Kilau kepada masyarakat zaman Allahyarham, dalam membangkitkan semangat mempertahan maruah bangsa Melayu, dan kedaulatan bumi Pahang. Ramai yang tidak mengetahui terdapat rekod British yang merakamkan gerakan besar pimpinan Mat Kilau telah membawa kemusnahan, dan kerugian besar kepada mereka,\u201d tambah beliau.\nTegas Abdul Rahman lagi, Mat Kilau menampilkan teladan sifat kelelakian yang sentiasa diperlukan pada setiap zaman kerana kuat berpegang pada agama Islam, budaya Melayu, matang, berakhlak baik, mencintai tanah air, berani dan sedia berkorban untuk mempertahan watannya daripada sebarang bentuk pencerobohan.\n\u201cMat Kilau juga diiktiraf sebagai tokoh negara. Fakta sejarah yang silap perlu diperbetul. Beliau ialah tokoh yang mempertahankan negara, bukan pemberontak seperti yang dilabelkan oleh kerajaan British dalam buku-buku sejarah. Jasa besar beliau perlu dikenang sepanjang zaman, dan boleh menjadi teladan yang baik kepada masyarakat,\u201d tegas Abdul Rahman.\nSementara itu, Dato\u2019 Adi Putra yang memegang watak Mat Kilau menceritakan bahawa beliau mengalami kecederaan pada kaki akibat terkena tikaman bayonet semasa menjalani penggambaran yang memerlukan enam jahitan. Walau bagaimanapun, beliau bersyukur kerana luka yang agak parah itu sembuh tanpa jahitan.\n\u201cBukanlah berlakon dalam filem aksi lasak jika pelakon yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan. Namun begitu, persediaan rapi penting untuk meminimumkan kecederaan jika memang tidak dapat dielakkan,\u201d jelas Adi Putra menjawab pertanyaan media mengenai pengalaman ketika menjalani penggambaran.\nMalangnya, pengarah dan penulis lakon layar Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Syamsul Yusof tidak dapat hadir kerana kurang sihat. Begitu juga dengan Wan Hanafi Su (Tok Gajah, ayah Mat Kilau), Khir Rahman (Usup), Dato\u2019 Rahim Razali (Imam Botok), dan Namron (Haji Sulong) yang ada komitmen lain.\nMat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang turut menampilkan Beto sebagai Wahid (watak rekaan), Fattah (Awang), Johan (Yassin), Ali (Brahim), Ellie (ibu Yassin), Geofrrey (Syers), Mubarak (ayah Yassin), Galak (Pak Deris), Shaharuddin (Datuk Bahaman), Jalaluddin (Hj. Muhammad), Farid (Goh Hoi), Farah (Yang Chik, isteri Mat Kilau), Zambry (Kelubi), Yayan (Toga) \u00a0dan lain-lain ini akan ditayangkan di 90 buah pawagam di seluruh negara bermula pada 23 Jun 2022 nanti." "MOTAC Sasarkan Pendapatan Pelancongan Sebanyak RM11.1 Bilion bagi Tahun 2022\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan pendapatan pelancongan sebanyak RM11.1 bilion bagi tahun ini dengan ketibaan sebanyak 4.5 juta orang pelancong.\nMenteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri berkata sasaran tersebut dibuat setelah pembukaan semula aktiviti pelancongan seluruh negara, peningkatan kadar vaksinasi, pembukaan sempadan negara serta pelaksanaan Rangka Kerja Pemulihan Pelancongan (TRF) 2.0.\nPada 21 Jun 2022, telah diadakan buat pertama kalinya sesi Dialog Pelancongan MOTAC 2022 yang juga merupakan salah satu mekanisme ke arah menjayakan pelaksanaan Dasar Pelancongan Negara 2020 \u2013 2030.\nSesi yang dipengerusikan oleh Menteri MOTAC merupakan platform perkongsian mengenai dasar dan hala tuju MOTAC selain untuk mendengar pandangan dan mendapatkan maklum balas daripada penggiat industri mengenai pembangunan industri pelancongan bagi tempoh jangka pendek, jangka sederhana dan panjang dalam menangani cabaran-cabaran yang dihadapi sektor pelancongan masa kini.\nSesi yang dihadiri 250 orang peserta ini melibatkan penyertaan daripada penggiat industri pelancongan seperti Malaysia Association of Tour and Travel Agents (MATTA), Malaysia Association of Hotels (MAH), Malaysia Association of Convention and Exhibition Organisers and Suppliers (MACEOS), Malaysia Association of Wellness and Spa (MAWSPA) dan Malaysia Association of Amusement Theme Park and Family Atrractions (MATFA).\nDalam majlis tersebut juga, YB Dato\u2019 Sri Hajah Nancy turut melancarkan TRF 2.0 yang merupakan kesinambungan daripada Pelan Pemulihan Pelancongan (TRP 1.0). TRF 2.0 telah ditambah baik oleh MOTAC bersama-sama penggiat industri melalui Tourism Productivity Nexus (TPN) dengan mengambil kira isu dan cadangan yang telah dikemukakan oleh penggiat industri melalui memorandum tersebut.\n\u201cDiharapkan TRF 2.0 ini dapat memacu semula sektor pelancongan agar kembali pulih. Kerjasama erat antara para penggiat industri, komuniti tempatan, pertubuhan bukan kerajaan dan kerajaan amat penting demi mencapai matlamat dan menangani kesan buruk COVID-19 bagi mewujudkan serta meningkatkan industri pelancongan yang berdaya maju dan berdaya tahan,\u201d kata beliau dalam satu kenyataan media." "Pentingnya Menguasai Bahasa yang Sempurna\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\nKUALA LUMPUR \u2013 Dalam usaha memugarkan penguasaan bahasa dalam kalangan editor, Persatuan Editor Malaysia (PEM) dengan kerjasama Nuha Books, buat julung-julung kalinya menganjurkan program Tazkirah Bahasa untuk Editor. Program yang berbentuk ceramah ini disampaikan oleh Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka dan dipengerusikan oleh Profesor Dr. Hamedi Mohd Adnan, Presiden PEM.\nSesi ceramah yang diadakan secara langsung menerusi aplikasi Zoom pada hari ini berjaya menghimpunkan 51 orang peserta yang terdiri daripada ahli PEM dan orang awam yang berminat. Ceramah ini memberikan peluang yang bermakna kepada peserta untuk berguru secara langsung dengan penceramah yang merupakan salah seorang tokoh bahasa yang tersohor. Fokus utama kandungan ceramah ini tertumpu pada aspek sistem bahasa yang meliputi laras bahasa, tatabahasa, kosa kata, ucapan dan tulisan.\nProfesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dalam ceramahnya menegaskan bahawa penguasaan bahasa yang sempurna dari segi makna dan bentuk amat penting dalam mewujudkan komunikasi berkesan sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan. Menurut beliau lagi, editor dan penulis juga seharusnya menguasai penggunaan ayat yang berkesan dan tahu menggunakan jenis ayat yang bersesuaian dengan konteks keperluan pelbagai wacana seperti minit mesyuarat, memo, surat dan lain-lain lagi. Untuk itu, budaya bersahabat dengan kamus bagi beliau merupakan pendekatan terbaik untuk memastikan perkataan yang digunakan dalam ayat menepati maksud sebenar.\nDalam sesi perkongsian ini juga, penceramah mengetengahkan contoh kesalahan dari aspek kata yang sering ditemukan dalam karya dengan mengemukakan panduan penggunaan yang betul kepada peserta. Antara aspek yang disentuh termasuklah kesilapan ejaan pada kata tunggal, kata tugas dan kata terbitan yang masih banyak berlaku dalam penulisan.\nBeliau juga menyarankan agar sesi perkongsian ilmu menerusi penyuntingan secara berjemaah digiatkan dan dijadikan amalan dalam kalangan editor sebagai usaha untuk meningkatkan keterampilan berbahasa. Di penghujung acara, peserta diberi peluang untuk bersoal jawab secara langsung dengan penceramah tentang pelbagai persoalan yang berkaitan dengan tatabahasa. Berdasarkan sambutan yang menggalakkan daripada peserta, ceramah yang berlangsung selama dua jam ini akan dijadikan acara rutin PEM bagi menggalakkan pembudayaan ilmu dalam kalangan ahli dan masyarakat awam." "Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2022 Berlangsung di Kota Bharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Bharu \u2013 Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menganjurkan Hari Muzium Antarabangsa (HMA) Peringkat Kebangsaan 2022 dari 19 Jun hingga 25 Jun 2022 di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan.\n\nPenganjuran HMA kali ke-26 ini disifatkan cukup bermakna setelah dua tahun hanya dijalankan secara dalam talian bahkan mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila buat julung-julung kalinya negeri Kelantan dipilih sebagai tuan rumah.\nMenurut Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A Kasim berkata, HMA diraikan pada 18 Mei setiap tahun sejak tahun 1997 oleh muzium di seluruh dunia yang melibatkan lebih 137 ribu muzium dari 158 buah negara.\n\u201cDi Malaysia, penganjuran HMA di peringkat kebangsaan bermula sejak tahun 1997 dan bagi pemilihan tuan rumah, tradisi sambutan adalah secara penggiliran dalam kalangan muzium di Malaysia yang bergabung di bawah Persatuan Muzium Malaysia,\u201d katanya.\nSambutan HMA pada kali ini bertemakan Keunggulan Muzium disertai oleh 28 muzium dari seluruh negara dengan pengisian pelbagai aktiviti menarik sepanjang tujuh hari HMA berlangsung.\nAntara aktiviti dan program yang diadakan ialah pameran oleh pelbagai agensi, Pesta Makanan Kelantan, Pertandingan silat Jatuh, Pertandingan Wayang Kulit, Bengkel Wau Tradisi, Persembahan Dikir Barat, Seminar Hari Muzium Antarabangsa dan paling istimewanya ialah program Muzium Bersama Komuniti \u2013 Train to Dabong pada 22 Jun 2022.\nMajlis perasmian HMA 2022 telah berlangsung pada 19 Jun yang lalu dan dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Dato\u2019 Bentara Kanan, Ustaz Dato\u2019 Haji Ahmad Yakob. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan kerajaan negeri tidak menolak warisan dan budaya tradisi termasuk makyong, dikir barat dan wayang kulit selagi mematuhi prinsip-prinsip syariah.\n\u201cPersembahan tradisional tersebut dibenarkan selepas memenuhi dasar-dasar yang berteraskan Islam dan pemilihan Kelantan sebagai tuan rumah sambutan HMA pingkat kebangsaan pada kali ini merupakan satu pengiktrafan yang besar terhadap Kelantan sebagai sebuah negeri yang terkenal dengan budaya dan warisannya yang tersendiri,\u201d katanya." "Teater \u201cLanggam Merdeka\u201c Mencetus Ragam Budaya dan Bahasa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMelaka \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan dengan kerjasama Unit Kebudayaan dan Kesenian, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka berjaya melaksanakan pementasan teater \u201cLanggam Merdeka\u201c bersempena dengan sambutan ulang tahun DBP yang ke-66. \nKerjasama yang julung-julung kali diadakan ini telah memberikan impak positif terhadap industri seni teater tempatan khususnya di negeri Melaka setelah dua tahun menyepi kerana sekatan dan halangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kehadiran lebih 300 penonton di Auditorium Ibu Zain, UiTM Kampus Bandaraya Melaka telah mengembalikan momentum para karyawan teater negeri Melaka terutamanya anak-anak seni UiTM dalam setiap babak dan aksi sebagai anak panggung.\u00a0\n\n\u201cLanggam Merdeka\u201c mengisahkan dugaan percintaan Remy dan Julia yang berlainan latar belakang keluarga serta perbezaan pendapat tentang budaya berbahasa.\nIsu bahasa ibunda dan bahasa asing menjadikan mereka tidak sehaluan.\nKonflik semakin panjang apabila Amir, adik Remy dihukum di sekolah kerana melontarkan bahasa yang tidak sopan terhadap Cikgu Rahman. Keadaan semakin tegang apabila ayahnya sendiri menyokong tindakan Amir dengan alasannya yang tersendiri. Walau bagaimanapun, peleraian konflik pada akhir cerita telah membongkar pelbagai rahsia tentang latar sebenarnya keluarga Remy.\u00a0\nPementasan yang digarap dengan elemen bahasa, budaya dan sejarah ini disulami dengan lelucon dan satira terhadap masyarakat. Bukan mudah menzahirkan kecintaan terhadap bahasa kebangsaaan pada era serba moden apatah lagi anak muda pada masa kini lebih cenderung menggunakan bahasa Inggeris.\n\nTeater arahan Mohd. Hatta Mohd. Yatim ini dipentaskan selama dua hari pada 25 dan 26 Jun 2022. Pementasan ini diserikan dengan kehadiran Prof. Madya Ts. Dr. Mohd. Rasdi bin Zaini, Rektor UiTM Cawangan Melaka dan Encik Mohd. Riduwan bin Wahab, Pengarah DBP Wilayah Selatan." "Menelusuri Pemikiran Izzat Hasan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMemulakan perjalanan kariernya dalam bidang penyiaran dan perfileman secara suka-suka sebagai pekerja rencam (handyman) dan seterusnya mendalami ilmu tersebut secara formal di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Muhammed Izzat Hasan, lulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan Seni Layar menyatakan bahawa semuanya berlaku tanpa dirancang.\nHal ini dikatakan demikian kerana Izzat tidak pernah terfikir akan bergiat aktif di sebalik tabir sebagai tenaga produksi filem apatah lagi dapat menjayakan pelbagai iklan, drama dan dokumentari di bawah arahan pengarah terkenal tanah air.\nUjar Izzat, ketika masih di kuliah, dia sentiasa menajamkan kemahiranya dalam bidang produksi dengan menyertai pelbagai pertandingan seperti Festival Filem Pelajar Malaysia untuk tiga tahun berturut-turut bermula pada tahun 2003, kemudian tahun 2004 dan 2005. Di festival itu, Izzat mempertaruhkan beberapa karya filem pendek eksperimentasi berjudul Tutupkan Air itu, dokumentari The Tearing Celluloid, video berbentuk majalah dan juga iklan Nokia 3650. Izzat juga tidak melepaskan peluang menyertai pertandingan Festival Filem Pendek Malaysia \u201cCerita Satu Malam\u201d yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 2007 dengan tajuk Cerita Satu Malam. Usahanya juga berbaloi kerana hampir kesemua penyertaannya sering berakhir dengan kemenangan.\nBercerita tentang antara aspek utama yang menjadi kajiannya dalam menghasilkan sesebuah produksi, Izzat menyatakan bahawa elemen pencahayaan dalam filem ialah satu daripada aspek penting dalam pembikinan sesebuah filem kerana aspek tersebut mewujudkan rasa serta mood berdasarkan sesebuah genre filem. Pada\u00a0 masa yang sama, pencahayaan juga berfungsi sebagai medium penceritaan dan metafora visual.\nPenataan cahaya juga merupakan salah satu kekuatan artistik dalam pembikinan filem kerana mampu menarik perhatian penonton untuk menonton dan menilai filem tersebut. Pencahayaan boleh mendorong mood penonton untuk menjadi sedih, gembira atau takut.\nIzzat yang menggunakan teori pencahayaan sebagai penceritaan (lighting as storytelling) oleh Blain Brown sebagai panduannya dalam aspek pencahayaan cahaya suram (low key) berkata, teori ini dapat membuka mata dan membantu sinematografer atau pelajar filem untuk menghasilkan pencahayaan berbentuk low key dengan baik, lebih mendalam serta mudah kerana dapat menterjemah maksud skrip dan memberikan mood seram, dramatik mahupun saspens. Kajian ini dapat menjelaskan kedudukan, kandungan, idea, fungsi dan teknologi yang digunakan dalam pembuatan sesebuah pencahayaan dalam filem.\nBerbalik kepada pengalamannya sebagai penerbit teknikal, pengarah dan juga penerbit rancangan televisyen, Izzat berkata, antara program TV yang pernah dihasilkannya ialah travelog Zoom Malaysia, MTIB Capsule, My Australia Adventure dan banyak lagi. Izzat juga turut mengambil peluang untuk membuka rumah produksi dan bertindak sebagai Penerbit Eksekutif. Hal ini secara tidak langsung telah mengajar erti susah payah serta mengalami sendiri jatuh bangun dalam industri dan dunia perniagaan.\nKini, setelah puas bergelumang dalam bidang penerbitan produksi, Izzat beralih arah dengan menjadi pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).\nApabila diajukan tentang pendapatnya berkaitan dengan perkembangan industri perfileman negara, Izzat berkata bahawa pada satu ketika dahulu, dunia perfileman negara pernah berada di puncak kejayaan, iaitu pada awal tahun 1950-an hingga 1970-an. Pada ketika itu, lahirnya banyak nama pengarah besar yang tidak asing lagi seperti P. Ramlee, S. Kadarisman, Omar Rojik, Hussien Hanif dan Mat Sentul. Mereka telah menghasilkan pelbagai genre filem yang begitu kreatif dan hebat serta mendahului negara lain. Karya mereka begitu tersohor dan mahsyur hingga hari ini.\nNama tokoh yang hebat dan besar ini sentiasa bergerak dengan idea dan pemikiran yang sangat subjektif untuk dikupas dalam karya mereka. Karya mereka dibentuk dengan pemikiran yang sangat kritis dalam menongkas arus moden penceritaan filem bagi memenuhi selera penonton yang semakin bijak menonton filem.\nHingga kini, industri perfileman Malaysia masih lagi bergerak aktif dan berkembang, namun adakala kebebasan berkarya oleh mereka ini seolah-olah disekat dengan undang-undang negara yang secara langsung membataskan kreativiti mereka dalam membentuk sebuah cerita dan visual yang lebih terbuka.\nNamun begitu, sekatan ini ditangkis baik oleh mereka dengan cara yang lebih telus dengan mengkaji pola pemikiran penonton, kemudian menyelitkan unsur yang dianggap tidak keterlaluan seiring dengan konsep filem sebagai seni (film as art) dan juga filem sebagai perniagaan (film as business). Negara juga tidak tandus dengan pengarah berbakat besar kerana nama seperti U-Wei Haji Saari, Bade Haji Azmi, Mamat Khalid, Aziz M. Osman, Gaz Abu Bakar, James Lee, Ho Yu Hang, Saw Teong dan Shanjey Kumar Perumal masih lagi berupaya menghasilkan karya yang kreatif serta kontemporari.\nSungguhpun demikian, Korea Selatan yang dahulunya kurang dikenali sebagai pembikin filem kini telah jauh meninggalkan negara lain serta telah mendominasi industri perfileman dunia. Filem korea Selatan ini sudah mampu menembusi pasaran Hollywood sehingga ada antaranya pernah memenangi anugerah di festival filem di Amerika Syarikat. Hal ini menunjukkan bahawa industri dan juga kualiti filem Korea Selatan sudah berada sama tinggi dengan filem antarabangsa yang lain.\nGelombang kebudayaan Korea Selatan telah menjadi satu kuasa yang lembut dalam meningkatkan pendapatan negara melalui eksport budaya industri seni seperti muzik, tarian dan filem sehingga menjadi ikutan seluruh dunia. Keunikan budaya, sosial, makanan, teknologi, ekonomi dan juga cara hidup menjadi elemen utama yang dipaparkan dalam filem mahupun rancangan televisyen. Pendek kata, mereka berjaya menakluk dunia dengan menjual secara pakej kesemua budaya meraka dalam bentuk industri seni dan hiburan.\nKejayaan ini haruslah dikaji dan Malaysia juga boleh menjadikan Korea Selatan sebagai penanda aras dalam memajukan industri seni kreatif negara." "Karya Instalasi Merah Menyala, Red Dining Rangkul Anugerah Utama dalam Anugerah Bakat Muda Sezaman 2021\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Muhammad Hassanuddin Yusof merangkul Anugerah Utama bagi Anugerah Bakat Muda Sezaman 2021 (BMS21) dengan karya beliau, Red Dining. Menjulang penghormatan itu, Hassanuddin turut membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM30 ribu dan sijil penyertaan Bakat Muda Sezaman (BMS).\nRed Dining lahir sebagai karya seni instalasi yang mengangkat motif \u201csuapan\u201d yang merujuk masalah sosial negara yang sensitif, iaitu rasuah. Sudu dan set meja makan yang menjadi simbolik kepada suapan merupakan satu kenyataan jelas oleh Hassanuddin tentang gejala rasuah manakala palet merah menyala pula ditalakan kepada emosi yang marah, membarah atau amaran. Red Dining telah dipamerkan di Ibu Pejabat SPRM bersempena dengan BMS21, dan kini dipamerkan di aras lobi utama Balai Seni Negara setelah karya itu merangkul Anugerah Utama.\nBMS21 menerima sebanyak 166 permohonan penyertaan, dan menyaring sebanyak 81 peserta yang terpilih. Saringan dan penilaian diselia oleh pengelola dan sidang kuratorial Balai Seni Negara sendiri. BMS21 kali ini bertemakan \u201cSeni di Lokasi\u201d apabila seniman yang bertanding akan membangunkan karya fizikal mereka di satu lokasi terpilih, dengan mengetengahkan idea-idea dan realiti budaya kontemporari yang juga mewarisi pandangan alam Asia Tenggara, dalam pendekatan baharu.\nSebanyak 11 anugerah BMS21 telah disampaikan pada Majlis Anugerah Bakat Muda Sezaman 2021, yang diadakan sejurus saja Majlis Perasmian Pembukaan Semula Balai Seni Negara berlangsung, disusuli penyampaian hadiah penghargaan.\nKategori seterusnya ialah Anugerah Juri yang dimenangi oleh Andry Chin Yung Tet dengan karyanya Ais Box, Shireen Alyssa dan Amirul Shaqil dengan karya mereka SEED Perdu Buluh, Yap Chee Keeng dengan karyanya Clock In / Clock Out dan Chloe Yap Mun Ee dengan karya beliau yang bertajuk I Don\u2019t Want You to See Me, But I Still Want to Show You. Masing-masing pemenang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM15 ribu.\nUntuk kategori Pilihan Pelawat dalam Talian pula dimenangi oleh Thanesh Kumar A/L Letchumanan dengan karyanya, Lindung di tempat pertama, membawa pulang RM2500 disusuli oleh Dhakshini Jeganathan dengan karyanya, Healing Extensions di tempat kedua membawa pulang RM1500, manakala Haffizzudin Jaidin serta Syed Zamzur dengan karya mereka, Sulapan Urung Taka mendapat tempat ketiga dan membawa pulang RM1000.\nSeterusnya, kategori Pilihan Pelawat di Lokasi menyaksikan tiga pemenang dengan hadiah wang tunai yang sama dengan kategori dalam talian. Tempat pertama dimenangi Dhakshini Jeganathan dengan karyanya Healing Extensions, disusuli oleh Thanesh Kumar A/L Letchumanan dengan karyanya Lindung di tempat kedua dan Ahmad Rais Mohamed Azmi dengan karyanya, Solitary Wall di tempat ketiga.\nAnugerah Kehormat Juri turut dihadiahkan kepada artis yang berkarya dan berjaya mendapat perhatian juri. Barisan juri juga menyatakan bahawa enam pemenang hadiah ini bersaing rapat dengan pemenang Anugerah Utama. Pemenangnya ialah Muhammad Wardi Md Nazir, Nuraina Shuhadah Haris Fadilah, Izzat Zurrin Zaniwa, Mohd Iqbal Hashim, Khairul Izzuddin dan Muhammad Shamin Shahrum.\nHadiah bagi para pemenang BMS21 telah disampaikan oleh Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Hajah Nancy Shukri.\nBMS21 tampil sebagai edisi ke-26 bagi anugerah itu yang telah mula dianjurkan sejak tahun 1974 dan anugerah berprestij itu telah diadakan secara dwitahunan di Balai Seni Negara. BMS-Bakat Muda Sezaman atau Young Contemporaries diilhamkan daripada program New Contemporaries di London. Penganjuran BMS dinanti-nantikan oleh seniman dalam kalangan generasi muda sebagai pentas dan ruang untuk mereka berkarya di atas pentas berprestij. Saban tahun, karya-karya yang dihasilkan BMS dapat menjadi bahan yang melonjak aras dan nilai seni visual kontemporari negara.\nKebanyakan pemenang lepas yang memenangi anugerah BMS sekarang ini merupakan mereka yang menerajui atau mencipta sejarah dan perkembangan seni di negara mahupun di rantau, seperti Awang Damit Ahmad, Chang Fee Ming, Eng Hwee Chu, Fauzan Omar, Jailani Abu Hassan, Wong Hoy Cheong dan Zulkifli Yusoff.\nBMS tidak hanya memberikan pengiktirafan kepada artis muda, tetapi juga menyediakan tempat untuk mereka berkarya menerokai idea dan cara terbaharu, menguji dan meniti sempadan dalam berkarya dan memperlihatkan kebebasan karyawan dalam menukang hasil di sebuah institusi seni utama negara, iaitu Balai Seni Negara." "Fantasia: Suara Hati Emeer Bakri untuk Kembali Menyinar\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Jika tidak kuat semangat, kita tentu mudah mengalah. Bayangkan walaupun perjalanan seninya telah bermula sejak hampir dua dekad lalu, tetapi Emeer Bakri seolah-olah seperti pendatang baharu. Nama anak kelahiran Kuantan, Pahang ini kurang diingati dalam kalangan penggemar muzik tanah air.\nMenurut Emeer, dia telah mula menyanyi sejak umur 10 tahun apabila menyertai pelbagai pertandingan karaoke di sekitar Pahang. Pada tahun 2007 ketika berumur 12 tahun, dia berjaya memasuki peringkat akhir program realiti di TV3, Mystarz LG musim pertama, dan merupakan peserta termuda.\n\u201cKegagalan dalam MyStarz LG dapat ditebus pada tahun 2009 apabila saya menjadi juara pertandingan nyanyian di TV9, Oo La La,\u201d cerita Emeer, atau nama sebenarnya, Mohd. Emeer Iskandar Mohd. Bakri.\nAkhirnya, Emeer tidak lagi menyepi apabila baru-baru ini dia tampil dengan lagu tunggal pertamanya, berjudul Fantasia di bawah naungan Armani Entertainment Group (AEG), sekali gus kembali mewarnai industri muzik tanah air.\n\nJusteru, Emeer yang kini berusia 27 tahun, mensyukuri peluang yang diberikan oleh pihak pengurusan AEG, terutamanya pada Dato\u2019 KK Chua, dan Zeileen Yusnita kerana mempercayai bakatnya sehingga menawarkan kontrak rakaman bersama-sama mereka.\nJelas Emeer, kemunculannya semulanya bermula selepas dia berjaya menjadi naib juara pertandingan pencarian bakat The Audition anjuran AEG pada tahun lalu. Di situlah bakatnya ditemui semula, tambah Emeer.\nEmeer bukan hanya menjadi penyanyi profesional, malah merupakan penerbit muzik di AEG dan bertanggungjawab menghasilkan pelbagai kandungan berkaitan muzik.\nOleh sebab minat mendalam dan mahu mengejar cita-cita dalam bidang muzik, akhirnya Emeer nekad untuk berhijrah ke Kuala Lumpur. Penghasilan Fantasia seolah-olah memberikan peluang kedua untuk dia menunjukkan kembali bakatnya kepada semua rakyat Malaysia.\n\u201cLagu ciptaan komposer terkenal negara seperti Omar K, Firdaus Rahmat dan John Jeeves ini mampu menonjolkan kemampuan vokal saya dalam menyampaikan sesebuah karya muzik,\u201d ceritanya sambil memberitahu bahawa proses rakaman hanya berlangsung kira-kira dua jam sahaja di Studio World Peace Entertainment, Kota Damansara dalam suasana ceria dan tenang. Hal ini dikatakan demikian kerana banyak ilmu yang ditimba ketika berada di dalam studio bersama-sama mereka yang profesional dan dihormati.\nMengambil masa durasi 3.55 minit, bait-bait awal Fantasia sahaja telah berjaya membawa pendengar bagaikan terawang-awang ke dunia lain. Korusnya yang santai ala easy-jazz mudah \u201cditangkap\u201d, apatah lagi dengan \u201cpukulan\u201d vokal Emeer yang lunak dewasa, jauh berbeza daripada suara ciliknya yang biasa didengar dahulu.\nMenurut Emeer, dia mahu dikenali sebagai seorang artis yang bukan sahaja boleh menyanyi, tetapi mampu menghasilkan karya sendiri, dan mempunyai perwatakan atau sikap yang baik.\n\u201cSaya percaya keistimewaan seseorang penyanyi terletak pada cara nyanyiannya yang menjadi penanda aras artis tersebut. Apabila didengar sahaja, sudah diketahui siapa yang menyanyi,\u201d kata Emeer yang juga bersetuju untuk mencuba dengan genre yang lain pada masa akan datang.\nSerentak dengan pengeluaran Fantasia, sebuah video muzik turut dilancarkan yang mengangkat tema fiksyen sains, dan jalan ceritanya yang agak berlainan pasti membuatkan ramai penonton tertanya-tanya.\n\u201cMenerusi video muzik Fantasia, saya menjadi anak Malaysia pertama yang masuk ke lubang hitam atau black hole. Kalau mahu tahu lebih lanjut, silalah tonton!\u201d kongsi Emeer dalam nada teruja.\nFantasia juga merupakan lagu runut bunyi rasmi bagi drama Setelah Terlafaznya Akad 2 yang ditayangkan di Astro Ria bermula 1 Jun 2022 lalu pada jam 10 malam, di slot Mega Drama.\nFantasia boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai nada dering panggilan telefon menerusi kesemua syarikat telekomunikasi tempatan, serta boleh didengar dan dinikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian popular seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.\nVideo muzik lagu tunggal ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran rasmi YouTube Armani Entertainment." "Arca Panggilan Pulau: Ikatan antara Seniman dengan Bajau Laut Pulau Silk\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKudat \u2013 Pada 16 hingga 20 Jun 2022 lalu, sebanyak 18 orang seniman telah menyertai projek rintis yang diberi nama Panggilan Pulau di sebuah pulau kecil di Kudat, Sabah. Pulau Silk bersaiz 3.0 kilometer x 3.0 kilometer persegi, berpenduduk tidak melebihi 100 orang. Acara ini dianjurkan oleh SILA Kuantan dan Persatuan Seni Rupa (PeRUPA) Malaysia, dengan kerjasama Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).\nDari Lapangan Terbang Kota Kinabalu peserta perlu mengharungi lima jam perjalanan darat ke Kampung Mapan-Mapan, Kudat. Dari pesisir pantai Mapan-Mapan pula, perlu menaiki bot satu jam perjalanan ke Kampung Lagaton, Pulau Silk.\nSebuah pulau yang indah, penduduknya masih mengekalkan kaedah tradisional dalam kehidupan seharian dan yang penting adat, budaya dan agama masih digenggam erat oleh keseluruhan penduduknya.\nAktiviti utama mereka ialah menjadi nelayan dan mengusahakan kebun secara ala kadar untuk sumber makanan harian. Tenaga elektrik diperolehi daripada generator manakala sumber air minuman dan masakan dari tadahan air hujan dan telaga. Ada juga penduduk yang mahir mengayam tikar mengkuang untuk kegunaan sendiri dan jualan. Salah seorang anak Bajau Laut Pulau Silk, iaitu Profesor Dr. Zahimie Sahibil ialah orang yang membantu dari awal hingga akhir kumpulan seniman sepanjang berada di pulau tersebut.\nAKTIVITI SOSIAL DAN SENI VISUAL\nAcara pertama yang dilakukan ialah penyerahan hadiah dan cederamata kepada penduduk dan pihak surau. Wang yang didermakan oleh orang ramai telah digunakan membeli barang keperluan seperti generator, solar, sejadah, tudung wanita, telekung, quran dan kitab mukadam. Semua barang diserahkan dan diterima dalam keadaan terharu kerana sumbangan tersebut amat bermakna kepada penduduk terutama dalam mengimarah amalan beragama dalam pulau tersebut.\nSesi kedua ialah aktiviti seni bersama penduduk. Sanae Yamada peserta dari Jepun mengelola pembelajaran membuat rantai manik, manakala Ustazah Norlita Abu Seman mengendalikan kelas lukisan dan arca bersama kanak-kanak. Sejumlah 35 orang wanita dan anak-anak Bajau Laut terlibat dalam kedua sesi. Daripada aktiviti ini, semua pihak yang terlibat, iaitu seniman dan penduduk mengaktifkan sifat saling membantu, memberi dan menerima, ajar dan mengajar serta kasih sayang sesama insan.\nSelain aktiviti yang disusun oleh pihak seniman, pihak penduduk juga menyediakan aktiviti mereka. Antaranya ialah merawai, menyelam di laut jernih, melawat sekitar pulau dan menghadiri kenduri.\nARCA PANGGILAN PULAU\nSesuatu yang bermakna perlu ditinggalkan sebelum pulang, bukan sahaja sebagai tanda kenangan tetapi tanda ikatan antara seniman dengan penduduk kampung Lagaton. Sebuah arca telah dibina dalam masa dua hari, dengan menggunakan bahan kayu bakau, papan terpakai dan cat.\nArca berbentuk piramid dikukuhkan dengan menanam batang bakau sedalam tiga kaki ke dalam pasir. Kayu-kayu yang telah ditulis nama oleh masing-masing seniman dipaku pada struktur binaan supaya melekat dan memegang antara satu dengan lain. Akhirnya, terbina sebuah arca yang berbentuk piramid runcing menuju hala langit sebagai simbol bahawa acara singkat itu membawa interpretasi saling kebersamaan, bantu-membantu, yang kecil dan yang besar semua berperanan, dan \u201cmenghala ke langit\u201d sudah tentu sebagai hamba kita semua dalam \u201cperjalanan\u201d menuju kepada Allah yang Esa. Hablum minannas \u2212 hubungan sesama insan, manakala hablum minallah \u2013 hubungan dengan Allah jangan dilupa untuk mencapai kejayaan hakiki di dunia dan akhirat.\nFaktor alami pasang surut air laut yang menenggelamkan kaki piramid nama pada ketika air pasang akan mewujudkan kesan lebih dramatik yang memberikan kesan emosi. Kesan emosi pula bergantung pada ketika arca tersebut dilihat. Barangkali dibadai ribut, ditenggelami air pasang besar, bahkan mungkin juga akan kekeringan pada musim panas. Biarkan Allah menjaganya, sudah pasti Dia memberikan yang terbaik.\nKesemua seniman, iaitu Sukairi Shahri, Raduan Norudin, Fazz Ramli, Sanae Yamada, Jennifer, Enah Samad, Radzuan Mat Diah, Abu Jalal Sarimon, Qhazril Qhazwan, Abdullah Jones, Ali Shamsul Bahar, A Zaki Hadri, Ahmad Sukeri, Zaim Durulaman, Norlita Abu Seman dan Adlin Junita, Dr. James berasa amat berterima kasih atas layanan Profesor Dr. Zaimie, Andry Cin dan semua penduduk kampung.\nSeniman pulang membawa kenangan dan meninggalkan arca Panggilan Pulau sebagai tanda sahabat, tanda ikatan dan tanda persaudaraan." "Gema Semangat 66 Tahun DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTamparuli \u2013 Bersempena dengan sambutan Ulang Tahun ke-66 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan ke-45 tahun DBP Cawangan Sabah, program mendaki bukit yang dinamakan \u201cGema Semangat 66 Tahun DBP\u201d di Bukit Perahu, Tamparuli Sabah telah diadakan pada 29 Jun 2022. Program ini disertai oleh 40 orang, termasuk karyawan DBP Cawangan Sabah, rakan penulis\u00a0 Persatuan D\u2019Bayu, rakan Munsyi Dewan dan rakan wartawan dari Sabahtaim.\nProgram ini sebagai simbolik bergemanya semangat DBP selama 66 tahun dan DBP Cawangan Sabah selama 45 tahun dalam mencapai visi dan misinya. Aktiviti mendaki bukit merupakan aktiviti yang mencabar fizikal dan mental. Sepanjang pendakian, pelbagai cabaran terpaksa ditempuh untuk sampai ke puncak. Hal ini sinonim dengan cabaran getir yang telah ditempuh oleh DBP selama 66 tahun penubuhannya demi memastikan bahasa kebangsaan terus terpelihara dan kekal sebagai tunjang negara.\nPuan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah dalam ucapannya menyatakan bahawa selain beriadah, program ini mampu mengeratkan silaturahim antara karyawan DBP Cawangan Sabah, penulis dan wartawan serta rakan Munsyi Dewan yang banyak membantu DBP dalam usaha memartabatkan bahasa dan sastera, khususnya di Sabah. Beliau turut menyatakan bahawa aktiviti sihat ini mengajak para pendaki berinteraksi dengan alam dan menyemai semangat cinta akan alam sekitar menerusi aktiviti mengutip sampah di sekitar Bukit Perahu, Tamparuli, Sabah. Selain itu, aktiviti ini turut menyemarakkan semangat cinta akan bahasa dan sastera menerusi aktiviti deklamasi puisi di hentian dan puncak bukit.\nPendakian ke Bukit Perahu dengan ketinggian 270 meter bermula pada pukul 7.45 pagi dan sampai ke puncak pada pukul 8.45 pagi. Di hentian pertama, aktiviti mendeklamasikan puisi disampaikan oleh penulis, Nurfidah Albari dengan tajuk puisinya, Bahasa Kita karya Abizai, dan Mohammad Hilmi Ismail dengan puisi ciptaannya sendiri bertajuk Dirgahayu Bahasaku.\nSetibanya di puncak, gimik penyerahan dan kibaran bendera DBP oleh pembawa bendera kepada Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar, seterusnya bendera dipacakkan di puncak bukit. Di puncak bukit juga, karyawan DBP Cawangan Sabah yang diketuai oleh Puan Aminah, Encik Rayner J. Francis dan Puan Misyati Bakari telah mendeklamasikan puisi bertajuk Di Bawah Rimbun Merdeka karya Saladin Abdullah.\nPada pukul 10.30 pagi, para peserta tiba di kaki bukit dan diteruskan dengan acara penyerahan sijil kepada semua peserta. Aktiviti ini sesungguhnya mengukuhkan semangat dan menambah penghayatan penubuhan DBP dan DBP Cawangan Sabah menerusi aktiviti riadah, seterusnya menghayati cabaran getir dan semangat juang para pejuang bahasa dalam mempertahankan bahasa sepanjang tempoh 66 tahun penubuhan DBP. Dirgahayu DBP!" "Raffa Affar Dendangkan Semula Lagu Tiara Nyanyian KRIS\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Berdasarkan sejarahnya, lagu Tiara nyanyian kumpulan Kris pernah memenangi kategori Lirik Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-6 (tahun 1991). Secara keseluruhan, lagu ciptaan sepenuhnya oleh Dato\u2019 M. Nasir ini memenangi tempat ketiga pertandingan tersebut.\nSelepas lebih tiga dekad, Tiara kini menjadi lagu tunggal terbaharu penyanyi muda Indonesia, Raffa Affar yang sedang popular dengan lagu tunggal pertamanya, Cinta Sampai Mati.\nRaffa, 20 tahun, yang berasal dari Jawa Barat terkenal dalam media sosial dengan hampir empat juta orang pengikut di aplikasi TikTok, merakam ulang (cover) lagu Tiara yang pernah menjadi siulan pada tahun 1990-an.\nMenjawab pertanyaan mengapa memilih Tiara daripada ribuan lagu malar segar di Malaysia, Raffa mengatakan lagu ini dekat dengan hatinya, dan rasa bahagia apabila dapat menyanyikannya.\nSemua peminat tahu rentak lagu Tiara ialah rock perlahan. Walau bagaimanapun, Raffa menyanyi dengan cara dan gayanya sendiri apabila merakam ulang.\nLagu Cinta Sampai Mati yang tular di TikTok memang merdu. Namun begitu, Raffa juga terkenal kerana suaranya yang unik, dan berwajah kacak.\nLagu Tiara yang dilancarkan di Malaysia, diedarkan oleh Hayat Kreatif Studio. Menariknya, Pengarah Urusan Hayat Kreatif Studio, Aidilhayat Omar, memberitahu memang kini sedang berlaku kecenderungan lagu-lagu Malaysia dirakam ulang oleh penyanyi-penyanyi Indonesia.\n\u201cRupa-rupanya, tanpa disedari, pengaruh lagu-lagu malar segar daripada pencipta-pencipta di negara ini telah pergi jauh sehingga ke negara seberang,\u201d kata Aidilhayat.\nHayat Kreatif Studio yang juga bertanggungjawab mempromosi lagu-lagu nyanyian Raffa di Malaysia, yakin pemilihan lagu Tiara adalah tepat.\n\u201cJumlah tontonan di saluran Youtube Raffa mencecah 300 ribu setiap hari. Selepas Raffa, ramai yang turut merakam ulang Tiara di Indonesia,\u201d jelas Aidilhayat.\nSehubungan dengan itu, Aidilhayat merakamkan ucapan terima kasih kepada M. Nasir dan Luncai Emas Sdn. Bhd. (Luncai Emas) kerana memberikan kebenaran untuk rakaman ulang Tiara, serta mempermudah proses pelesenan hak ciptanya.\nDengan kolaborasi ini, Hayat Kreatif Studio turut berharap kecenderungan merakam ulang lagu-lagu malar segar popular seperti Tiara akan berterusan kerana dapat memperkenal semula lagu-lagu lama kepada generasi muda sekarang.\nTiara merupakan lagu tunggal kedua hasil kolaborasi antara Hayat Kreatif Studio dengan Botram Media Entertainment. Hak ciptanya di bawah Luncai Emas.\nKini Tiara nyanyian Raffa boleh didapati di semua pelantar penstriman. Video muziknya telah dimuat naik di saluran YouTube Hayat Kreatif Studio untuk tontonan ramai." "Upin dan Ipin Bakal Kembali ke Pentas Teater Muzikal\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Disebabkan mereka merupakan watak animasi rekaan, seolah-olah Upin dan Ipin boleh menjadi sesiapa sahaja. Transformasi dan inovasi tersebut bergantung pada daya kreatif dan kemampuan pencipta mereka.\nUpin dan Ipin telah menjadi satu daripada ikon dan jenama besar tanah air. Selain tampil dalam siri televisyen terbitan Les\u2019 Copaque Production Sdn. Bhd. (Les\u2019 Copaque Production) yang mula melonjakkan nama mereka, Upin dan Ipin turut ke layar lebar dan pentas teater muzikal.\nSelepas kali pertama menjayakan sebuah teater muzikal di Panggung Sari, Istana Budaya pada 10 tahun lalu, Upin dan Ipin akan kembali ke pentas teater muzikal yang juga diterbitkan oleh Les\u2019 Copaque Production.\nPementasan untuk kali kedua ini diberikan judul Teater Muzikal Upin & Ipin \u2013 Pin Pin Pom yang sesuai ditonton oleh pelbagai lapisan masyarakat. Pada kali ini, Upin dan Ipin akan muncul sebagai pahlawan magik.\n\u201cEkoran sambutan hangat terhadap teater muzikal pertama, teater kedua ini dirancang, malah mahu dipentaskan pada awal tahun 2020. Namun begitu, pandemik COVID-19 telah membantutkannya,\u201d jelas Pengarah Urusan Les\u2019 Copaque Production, Burhanuddin Md. Radzi, semasa sidang media Teater Muzikal Upin & Ipin \u2013 Pin Pin Pom pada 28 Jun 2022 lalu.\nTambah Burhanuddin, teater muzikal yang bakal dipentaskan pada 3 dan 4 September 2022 di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ini akan menampilkan pengisian yang berbeza.\nTambah Burhanuddin, teater muzikal ini akan menggunakan teknologi terkini seperti teknik kesan khas, kesan pencahayaan, serta penggunaan sistem lampu diod pemancar cahaya (LED) skrin untuk kesan luar biasa.\n\u201cBanyak alatan multimedia yang perlu diolah berbanding dengan 10 tahun lalu. Walau bagaimanapun, apa-apa yang penting, Teater Muzikal Upin & Ipin \u2013 Pin Pin Pom ialah 100 peratus karya anak tempatan,\u201d jelas Burhanuddin.\nPementasan Teater Muzikal Upin & Ipin \u2013 Pin Pin Pom yang berdurasi lebih sejam dijangka padat dengan aksi mendebarkan, serta mencuit hati, dengan dihiasi lagu-lagu muzikal yang pasti menghiburkan, dan mendorong penonton untuk menyanyi bersama-sama.\nAntara lagu yang akan didendangkan nanti termasuklah Gembira Bermain yang sedia popular, serta Upin & Ipin Berani dan Pin Pin Pom.\nTeater yang diterbitkan dengan kerjasama Star Fotress Sdn. Bhd. ini akan turut menampilkan beberapa watak baharu yang pertama kali dimunculkan untuk pementasan teater seperti Pahlawan Magik Upin Ipin dan Nenek Kebayan.\nWaktu pementasan Teater Muzikal Upin & Ipin \u2013 Pin Pin Pom dibahagikan kepada tiga, iaitu pukul 11.00 pagi, 3.00 petang dan 8.15 malam. Para peminat sudah boleh mendapatkan tiket dengan potongan harga 10 peratus di laman sesawang trip.com bermula dari 15 Jun sehingga 14 Julai 2022. Bermula dari 15 Julai 2022 pula, tiket akan dijual dengan harga asal menerusi laman sesawang MyBookMyShow.com.\nDalam sidang media itu juga, Burhanuddin memberitahu Les\u2019 Copaque Production merancang untuk membawa Teater Muzikal Upin & Ipin \u2013 Pin Pin Pom ke Singapura, Indonesia dan Brunei.\nBeliau turut berharap teater muzikal ini akan terus berkembang, sehingga akhirnya setaraf dengan pencapaian dan kedudukan Disney.\n\u201cKami, iaitu saya dan isteri serta anak-anak Les\u2019 Copaque Production mahu Upin dan Ipin menjadi nama besar, dan boleh dibawa ke seluruh dunia. Kami mahu melihat karya Malaysia melangkah ke tahap antarabangsa,\u201d tambah Burhanuddin.\nTurut menghadiri sidang media ialah Pengurus Projek Star Fotress, Goh Shin Bin; pengarah Teater Muzikal Upin & Ipin \u2013 Pin Pin Pom, Siti Rohayah Attan; dan pengarah koreografinya, A. Aris A. Kadir.\nTeater Muzikal Upin & Ipin \u2013 Pin Pin Pom membawa kisah Upin dan Ipin di Kampung Durian Runtuh yang secara tidak sengaja terjumpa, dan membawa pulang Batu Delima Sakti kepunyaan Nenek Kebayan.\nNenek Kebayan yang mahu menakluki dunia magik, memerlukan kuasa dari Batu Delima Sakti tersebut. Upin dan Ipin kemudian bertukar menjadi Pahlawan Magik dan menentang Nenek Kebayan." "Sebanyak 12 Individu Dilantik sebagai Ahli MAKEN\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebanyak 12 individu telah dilantik menganggotai Majlis Kebudayaan Negara (MAKEN) dalam satu sesi penyampaian watikah yang disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Haji Shukry di Novotel Kuala Lumpur City Centre pada hari ini.\nIndividu yang dilantik adalah dalam kalangan golongan yang dihormati, berpengalaman luas dan banyak menyumbang kepada seni, budaya dan warisan negara dalam tempoh dua tahun ini. Mereka terdiri daripada YBhg. Dato\u2019 Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa selaku Pengerusi, YAM Tunku Zain Al-\u2018Abidin Ibni Tuanku Mukhriz selaku Timbalan Pengerusi, YM Dato\u2019 Tengku Khalidah Tengku Bidin, YBrs. Dr. Lim Swee Tin, YBrs. Dr. Paul Porodong, YBrs. Dr. Regina Garai Abdullah, Puan Suhana Sarkawi, Encik Mohd Kamrulbahri Hussin, YBhg. Dato\u2019 Goh Hin San, Puan Low Ngai Yuen, Encik Abishegam Thiayaga Dass dan Encik Ronie Bahari.\nMAKEN merupakan sebuah badan bebas yang berperanan memberikan khidmat nasihat, pandangan dan cadangan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan kerajaan berhubung dengan pembangunan, kemajuan serta pemerkasaan dasar berkaitan dengan hal ehwal seni, budaya dan warisan negara. MAKEN bakal menggantikan Majlis Penasihat Kebangsaan Berkenaan Kebudayaan (MPKBK) yang telah ditubuhkan pada tahun 1976 dan berfungsi hingga tahun 2003. Majlis ini diwujudkan sebagai platform tertinggi yang melibatkan wakil penggiat seni, budaya dan warisan daripada pelbagai bidang bagi membincangkan isu-isu berkaitan dengan kebudayaan dan kesenian.\nMAKEN juga berfungsi untuk memberikan khidmat nasihat secara perundangan dan perbincangan bersama-sama MOTAC berkenaan dengan kebudayaan termasuk perkembangannya di peringkat antarabangsa, mengemukakan pandangan dalam urusan penambahbaikan berhubung dengan pelaksanaan program kebudayaan yang selari dengan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN), dan memberikan cadangan serta syor berkenaan dengan idea baharu berhubung dengan hala tuju kebudayaan.\nDalam ucapannya, YB Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Haji Shukry berharap ahli-ahli MAKEN yang telah dilantik ini dapat bersama-sama MOTAC memacu usaha ke arah merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah \u201cNegara Maju Rakyat Berbudaya\u201d serta dapat melestarikan agenda pemeliharaan, pemuliharaan dan perlindungan seni, budaya dan warisan negara.\nTurut hadir dalam majlis yang diadakan ialah Ketua Setiausaha MOTAC,\u00a0 YBhg. Datuk Hajah Saraya Arbi dan pegawai kanan MOTAC dari pelbagai jabatan dan agensi." "Bangga Diri terhadap Bahasa Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2013 \u201cDarjat bahasa Melayu sudah lama berada pada kedudukan yang tinggi sejak sebelum negara ini mencapai kemerdekaan. Menurut sejarah, sebelum kemerdekaan lagi sudah ada perbincangan tentang beberapa perkara yang perlu dilaksanakan apabila negara mencapai kemerdekaan, antaranya termasuklah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi lambang negara.\u201d Demikian menurut Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, ketika dihubungi oleh Bernama Radio pada pagi tadi.\nTambah beliau, semua negara di dunia ini mempunyai bahasa kebangsaan sendiri, begitu juga di negara kita. Sebelum kemerdekaan dimeterai, semua pemimpin daripada pelbagai bangsa di negara ini bersetuju bahawa bahasa Melayu diterima sebagai bahasa kebangsaan. Hal ini juga termaktub dalam Perlembagaan menerusi Perkara 152, Akta Bahasa Kebangsaan, bahawasanya bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi negara ini. Inilah darjat bahasa Melayu yang berada pada kedudukan yang sewajarnya.\nDatuk Abang Sallehuddin juga menjelaskan bahawa DBP ditubuhkan pada tahun 1956, iaitu setahun lebih awal daripada penubuhan negara ini yang mencapai kemerdekaan. Keadaan ini menunjukkan pemimpin kita sebelum kemerdekaan dahulu bahawa antara landasan utama yang difikirkan oleh mereka pada masa itu termasuklah bahasa. Hal ini demikian kerana bahasa merupakan wadah atau antara kaedah untuk memajukan negara.\nSusulan itu, setelah pelbagai kajian dan perbincangan dibuat, kerajaan memutuskan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara ini. Inilah antara darjat bahasa Melayu, yang diutamakan dan diletakkan dalam Perlembagaan pada kedudukan yang tinggi dan sama penting dengan perkara asas lain yang dilaksanakan hingga hari ini.\nMenerusi segmen Jendela Fikir: Darjat Bahasa Melayu ini juga, Datuk Abang Sallehuddin melahirkan rasa kekhuatirannya terhadap penggunaan bahasa rojak, yang menurutnya turut dihadapi oleh mana-mana negara di dunia.\n\u201cAda juga sebilangan masyarakat yang menggunakan bahasa yang baik. Cuma mereka tidak menggunakan bahasa yang baik kerana kurang pengetahuan, \u00a0tidak menguasai bahasa itu secara bagus, secara lengkap dan banyak dipengaruhi oleh bahasa basahan atau bahasa dialek di rumah masing-masing. Kebanyakan penutur menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa harian mereka. Keadaan ini sedikit banyak mempengaruhi penggunaan bahasa standard.\u201c\n\u201cNamun demikian, jika berlaku percampuran bahasa seperti bahasa rojak dalam bahasa rasmi, misalnya juruhebah radio menggunakan bahasa yang lintang-pukang atau bahasa yang kurang baik dan tidak standard, keadaan ini agak merisaukan kita di DBP,\u201d katanya.\nKatanya lagi, masyarakat perlu memahami bahasa Melayu yang mempunyai laras bahasa tertentu. Misalnya dalam urusan rasmi, gunakanlah bahasa yang standard, bahasa yang indah dan tersusun. Sekiranya dalam konteks tidak rasmi seperti penggunaan bahasa dalam\u00a0 WhatsApp yang banyak singkatan dan kependekan teks, hal ini memang \u00a0tidak dapat dielakkan untuk menjimatkan ruang dan masa.\nSehubungan dengan itu, masyarakat diingatkan agar tidak berasa rendah diri untuk menuturkan bahasa Melayu dan menganggap bahasa asing lebih tinggi darjatnya atau seseorang itu dianggap lebih pandai apabila menggunakan bahasa Inggeris.\nKita menganggap bahawa bahasa Inggeris begitu hebat dan antarabangsa, sebaliknya bahasa Melayu seperti bahasa orang kampung. Pemikiran seperti ini perlu dihindari kerana melibatkan jati diri. Contohilah negara maju yang mempunyai tamadun yang tinggi dan negara China begitu berbangga menggunakan bahasa Mandarin apabila mengadakan mesyuarat rasmi dengan kita. Begitu juga di Jepun dan Jerman, keadaan itu sangat berbeza kerana mereka mempunyai sikap bangga diri yang tinggi atau secara bahasa kasarnya, sombong diri terhadap bahasa sendiri berbanding dengan bahasa lain.\u201d\nIkuti temu bual sepenuhnya di sini." "Wesley Methodist School Kuala Lumpur Semai Nilai Perpaduan dalam Kalangan Remaja\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Wesley Methodist School Kuala Lumpur (International) menganjurkan Sambutan Hari Perpaduan Sekolah, bertempat di Wesley Hall, Wesley Methodist School Kuala Lumpur, pada pukul 8.00 pagi tadi.\nMajlis Sambutan Hari Perpaduan tersebut diraikan dengan perkongsian pengalaman, persembahan nyanyian dan deklamasi puisi oleh tetamu kehormat dan tetamu undangan berkenaan dengan perpaduan dan kehidupan masyarakat yang berbilang-bilang kaum di negara ini. Sambutan tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan dikir barat, nyanyian, deklamasi sajak, serta tarian tradisional Melayu, Cina, India serta tarian masyarakat Sabah dan Sarawak oleh para pelajar di sekolah tersebut.\nMenurut Pengetua Wesley Methodist School Kuala Lumpur, Encik Wong Chee Kheon, Hari Perpaduan disambut sebagai satu usaha pihak sekolah untuk memainkan peranan serta membina semangat pelbagai kaum dalam mengukuhkan dan memperkasakan perpaduan dan integrasi nasional dalam kalangan rakyat. Katanya, \u201cSaya percaya, \u2018melentur buluh biarlah daripada rebungnya\u2019.\u201d\n\u201cHari Perpaduan yang bertemakan \u2018Jom Membina, Jangan Membinasa\u2019 ini diyakini akan memberikan impak yang positif dalam usaha pembangunan bangsa dan negara ke arah membina era yang lebih makmur dan sejahtera berteraskan tiga komponen, iaitu keharmonian sosial, kemakmuran ekonomi dan aspirasi bagi menjadikan Malaysia negara yang bersatu padu dan maju,\u201d tambah beliau.\nPada majlis tersebut, tetamu kehormat, Yang Berhormat (YB) Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi menyampaikan ucapan dan amanat khusus kepada pelajar Wesley Methodist School Kuala Lumpur. Beliau berkata,\nAdik-adik yang dikasihi, kalian ialah generasi masa hadapan negara kita. Kita mesti bersatu padu dan melakukan yang terbaik untuk negara kita. Ibu bapa kita telah berjuang, bertungkus-lumus untuk menjadikan kehidupan kita aman. Oleh itu, saya memohon kepada adik-adik untuk sentiasa ingat bahawa kita ialah rakyat Malaysia dan tiada siapa-siapa yang boleh mengambil negara ini dari tangan kita.\nMenerusi majlis tersebut, semangat perpaduan dalam kalangan para pelajar disemarakkan dengan deklamasi puisi yang bertajuk \u201cPanji Daun Lontar\u201c oleh Sasterawan Negara, Profesor Datuk Dr. Siti Zainon Ismail.\nMengulas mengenai penganjuran majlis pada hari ini, Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi), Datuk Dr. Radzuan Ibrahim berkata, \u201cTema sambutan pada hari ini cukup bagus untuk diserapkan dalam jiwa remaja. Penglibatan remaja dalam majlis sambutan pada hari ini memperlihatkan perpaduan dalam kalangan mereka. Sekiranya kita pupuk nilai budaya bangsa di Malaysia, kita akan membentuk masyarakat yang padu dari sudut perpaduan dan hal inilah yang kita mahukan untuk generasi kita pada masa sekarang dan akan datang.\u201d\nDalam pada itu, Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Tuan Adiwangsa Sukma turut berkata, \u201cPada hakikatnya, kita telah hilang satu elemen yang penting untuk menyatukan generasi baharu. Jika suatu masa dahulu, kita terdedah dengan pelbagai budaya yang secara tidak langsung menyatupadukan kita, seperti berkunjung ke rumah teman, bermain dengan rakan sepermainan dan peranan sekolah yang menyatukan masyarakat, perkara itulah yang menyebabkan perpaduan sentiasa akrab dalam kehidupan kita dan tidak susah untuk kita bina perpaduan pada masa itu. Apa-apa yang dilakukan oleh Wesley Methodist School Kuala Lumpur pada hari ini sangat baik, bukan sahaja dari segi pengurusan yang sistematik, tetapi dari segi cara mereka melihat seni sebagai elemen yang membangkitkan rasa cinta akan negara melalui perpaduan.\u201d\nAntara lain yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Datuk Seri Wong Chun Wai, Tuan Letfee Ahmad, Datuk Seri Abdullah Sani, Tuan Kumar Subramaniam, wakil media, para guru dan pelajar Wesley Methodist School Kuala Lumpur." "Wayang Kulit Warisan Kesenian Khazanah Bangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dr. Lim Swee Tin bukan sahaja seorang penyair yang diiktiraf dan disegani tetapi sebagai penyelidik malah pernah menjadi ahli akademik dan pensyarah yang tekun mendokumentasi warisan kesenian khazanah bangsa.\nTerkini, Dr. Lim Swee Tin tampil dengan buku penyelidikan terbaharu bertajuk Dari Sebalik Kelir: Wayang Kulit \u2013 Tok Dalang Che Ann (DSKWKTDCA) yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Malaysia Kelantan (UMK Press).\nDalam pembentangannya di pentas utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022, Dr. Lim Swee Tin menyatakan mengambil masa yang lama untuk menulis buku wayang kulit itu bersama Lily Ang. Program \u201cMemperkatakan Buku\u201d yang dianjurkan oleh Penerbit UMK pada 9 Jun 2022 telah membuka mata penonton dan masyarakat bahawa kita memiliki satu warisan kesenian yang amat berharga.\nDr. Lim Swee Tin menghuraikan buku DSKWKTDCA secara ringkas menjalurkan tiga skop isi yang sememangnya dirancang untuk memberikan maklumat dan pengetahuan yang berguna kepada pembaca.\nPertama, tentang kesenian wayang kulit itu sendiri secara amnya, termasuk di sana sini diselitkan perihal Dollah Baju Merah, seorang dalang tersohor di Kelantan malahan juga di seluruh negara. Pengetahuan ini penting memandangkan kesenian kita dalam banyak keadaan diasak dengan rakusnya oleh pelbagai bentuk hiburan moden tatkala ini.\nKedua, tentang penglibatan seorang dalang sejak usia remaja bernama Kang Boon Ann. Kang Boon Ann merupakan seorang Cina Peranakan di Kelantan. Beliau meminati kesenian ini sejak kanak-kanak. Mengikutnya, beliau sering kali diajak oleh nenek menyaksikan persembahan wayang kulit sehingga timbul minat serta keinginan untuk mengetahuinya tentang seni wayang kulit.\nMenginjak remaja dan dewasa, keterujaan beliau kepada wayang kulit begitu besar, malahan menubuhkan kumpulan wayang kulitnya sendiri, belajar dan berlatih tanpa jemu. Boon Ann bernasib baik apabila secara kebetulan bertemu Tok Dalang Dollah Baju Merah yang sanggup memberikan bimbingan kepadanya bukan sahaja dalam aspek pedalangan akan tetapi juga menghasilkan patung-patung wayang kulit.\nKetiga, diselitkan juga dalam buku ini teknik serta kaedah menghasilkan patung-patung wayang kulit sendiri sebagai pengetahuan asas yang berguna. Boon Ann dilihat Dollah sedang terkial-kial menghasilkan patung wayang kulit awal perkenalan mereka lalu membawa peralatan, menunjuk ajar dan menurunkan ilmu kepadanya sehingga mahir. Jasa Dollah Baju Merah kepada Boon Ann sangatlah besar.\nSebagai tanda ingatan, kenangan dan keakraban mereka, Dollah meninggalkan kepadanya peralatan muzik wayang kulit, patung-patung wayang kulit gubahan Dollah Baju Merah sendiri sebelum beliau meninggal dunia, dan lebih penting semangat tinggi serta kecintaan mendalamnya kepada wayang kulit yang sentiasa ditunjukkan bagai dicurahkan setiapnya kepada Boon Ann untuk diwarisi yang kini meniti usia bergelar Tok Dalang Che Ann.\nMenurut Dr. Lim Swee Tin, kesenian wayang kulit merupakan kesenian tradisional yang terkenal di negeri Kelantan. Kelantan melahirkan sangat banyak tok dalang yang hebat dan terkemuka. Selain Dollah Baju Merah, Seniman Negara yang pertama (1993) Tok Dalang Hamzah Awang Amat juga berasal dari negeri Kelantan.\nPembentangan Dr. Lim Swee Tin turut diiringi oleh persembahan wayang kulit yang diselang seli dengan persembahan muzik bertabuh, persembahan tok dalang dan persembahan jenaka wak long dan pak dogo yang diiringi oleh kumpulan pemuzik yang dipanggil panjak. Yang lebih memeranjatkan, Tok Dalang dalam persembahan wayang kulit ini adalah yang termuda usianya, iaitu lapan tahun.\nPada akhir pembentangan, Dr. Lim Swee Tin turut mengemukakan pertanyaan kepada penonton bahawa wayang kulit Kelantan merupakan warisan kesenian yang luar biasa. Justeru, siapakah yang akan mewarisinya? Pada masa yang sama, Dr. Lim Swee Tin dengan yakin mempertahankan bahawa wayang kulit kita, wayang kulit Kelantan terutamanya merupakan warisan kita yang sebenar dan sejati kerana terdapat perbezaan yang banyak jika dibandingkan wayang kulit negara-negara lain.\nKesimpulannya, buku DSKWKTDCA yang ditulis oleh Dr. Lim Swee Tin dan Lily Ang merupakan satu khazanah berharga kesenian tradisional warisan bangsa yang wajar dimiliki oleh masyarakat sebagai bahan bacaan dan bahan ilmu yang amat bernilai." "Pameran Buku Kanak-kanak Nadir Angkat Nilai Warisan Budaya Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Amalan membaca buku pada hari ini dilihat semakin mencabar untuk dibudayakan, lebih-lebih lagi dengan kepesatan teknologi yang menyajikan pelbagai bentuk hiburan secara digital. Sebagai contoh, perkhidmatan penstriman rancangan televisyen seperti Netflix; rangkaian media sosial seperti TikTok dan sebagainya lebih menarik perhatian generasi muda pada masa ini berbanding dengan buku fizikal.\n\u201cInilah persoalan yang dibangkitkan, iaitu dari segi asas didikan untuk membudayakan amalan membaca buku dalam kehidupan. Segalanya bermula di rumah dan tidak hanya bergantung kepada para guru. Ibu bapa memainkan peranan untuk \u2018menghadirkan\u2019 buku dalam hidup anak-anak sejak dari kecil,\u201d ulas Puan Mahaya Mohd Yassin, tokoh Sasterawan Negeri Sembilan di bahagian pameran buku kanak-kanak nadir di Festival Cerita+Seni=Buku Bergambar (Stories+Art=Picture Books Festival), GMBB, Kuala Lumpur. Sebagai seorang penulis, penggiat sastera dan pencinta buku, beliau secara sukarela meluangkan masa memberikan penerangan kepada pengunjung tentang buku nadir kanak-kanak yang dipamerkan di pesta tersebut.\nBeliau ditemui bersama-sama dengan Datuk Hajah Zaiton Ajamain, selaku seorang daripada pengkurasi pameran tersebut dan Puan Linda Tan, Pengarah Museum of Picture Book Art.\nMengulas tentang pembudayaan membaca dalam kalangan kanak-kanak, Datuk Hajah Zaiton menyatakan bahawa karya kanak-kanak perlu dipelbagaikan dan penulis perlu diberikan ruang untuk mengetengahkan idea mereka menerusi karya. Hal ini dikatakan demikian kerana plot cerita yang berbeza dapat mencambahkan pemikiran pembaca terutamanya kanak-kanak. Kadangkala terdapat juga penulis yang menampilkan plot cerita yang kelihatan agak \u201ckeras\u201c dan menyebabkan ada pandangan yang menyatakan bahawa plot sebegitu kurang sesuai untuk kanak-kanak. Menurut beliau, dalam hal ini orang dewasa memainkan peranan penting untuk mengeluarkan nilai murni daripada keseluruhan buku tersebut untuk diceritakan kepada kanak-kanak kerana setiap idea yang diutarakan oleh penulis itu mempunyai mesej dan nilai murninya yang tersendiri yang ingin diterapkan. Oleh sebab itu, buku kanak-kanak yang diterbitkan bukan hanya sesuai dibaca oleh kanak-kanak malahan sesuai juga dibaca oleh golongan dewasa terutama ibu bapa.\nPesta buku kanak-kanak bergambar ini merupakan anjuran Museum of Picture Book Art yang berlangsung selama sebulan, iaitu dari 18 Jun 2022 hingga 17 Julai 2022. Pesta ini bukan sahaja meraikan penulis buku kanak-kanak, malah meraikan para ilustrator buku bergambar kanak-kanak.\nPameran buku kanak-kanak nadir ialah satu daripada pameran yang diadakan di pesta ini dan telah dikurasi dengan teliti oleh Datuk Hajah Zaiton, Puan Alimah Salam dan Puan Mahaya; tiga nama yang tidak asing lagi dalam dunia sastera kanak-kanak dan bahasa. Menerusi pameran ini, pengunjung berpeluang melihat koleksi buku kanak-kanak nadir yang diterbitkan seawal sebelum zaman kemerdekaan seperti Pak Pandir dan Lebai Malang. Selain itu, buku kanak-kanak nadir terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka turut dipamerkan seperti Pak Pelanduk Berkubukan Landak tulisan Ismail Ahmad dan buku bersiri Tidurlah Intan.\n\u201cBuku kanak-kanak bergambar perlu melalui evolusi positif dan kreatif seperti menggunakan ilustrasi yang berkualiti agar dapat bersaing dengan hiburan alternatif. Antara tujuan kami mengadakan pesta ini termasuklah untuk mengangkat usaha pemain industri penerbitan buku bergambar kanak-kanak di Malaysia,\u201d jelas Puan Linda ketika ditanya tentang matlamat pesta.\nKhalayak diundang hadir untuk memeriahkan Festival Cerita+Seni=Buku Bergambar di Aras 3A yang turut menyediakan pelbagai aktiviti interaktif khususnya bagi kanak-kanak dan ibu bapa. Bangunan GMBB terletak di Jalan Robertson, Kuala Lumpur dan boleh dikunjungi menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam transit aliran ringan atau LRT (Plaza Rakyat) dan transit aliran massa atau MRT (Stesen Merdeka). Pesta ini bermula pada pukul 11.00 pagi setiap hari." "Mengimbau Nostalgia Wayang Pacak di Pekan Sungai Lembing\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuantan \u2013 Nostalgia menonton wayang pacak suatu ketika dahulu diimbau kembali oleh penduduk di sekitar Pekan Sungai Lembing, Pahang. Acara anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dan Majlis Bandaraya Kuantan ini telah diadakan pada 1 Julai 2022 bertempat di Tapak Pasar Sehari, Sungai Lembing.\nTapak acara mula dipenuhi oleh orang ramai yang terdiri daripada masyarakat setempat dan pengunjung luar sekitar pada pukul 7.00 malam walaupun tayangan wayang pacak tersebut dijadualkan pada pukul 8.00 malam.\u00a0\nTayangan khas episod 1 drama bersiri yang berjudul \u201cPekan Kecil Kampung Terpencil\u201ddiangkat sebagai karya yang dipertontonkan dalam tayangan wayang pacak ini. Drama arahan Wan Afzam Wan Daud dan diterbitkan oleh Unit Drama TV, RTM\u00a0 merupakan karya yang diadaptasi daripada naskhah pantun seperti Kurik Kundi Merah Saga, Kalung Bunga, Kumpulan Pantun Melayu dan Hati Mesra. Skrip yang dipertuturkan oleh para pelakon juga turut diselangi oleh rangkap pantun yang menjadi keunikan drama ini.\nAcara ini turut diserikan lagi dengan persembahan nyanyian oleh Wani Kayrie dan Raja Ema. Tapak acara juga dimeriahkan dengan jualan pelbagai jenis makanan.\nWayang pacak pernah menjadi sumber hiburan utama pada sekitar tahun 1980-an di kawasan kampung dan pendalaman disebabkan kurangnya penggunaan dan liputan televisyen. Acara ini lazimnya menarik minat masyarakat setempat terutamanya kanak-kanak untuk berkumpul dan bersama-sama menonton filem yang ditayangkan. Selain mengembalikan nostalgia, tayangan wayang pacak tersebut memberikan peluang untuk pengunjung berhimpun dan beramah mesra antara satu sama lain.\u00a0\nPekan Kecil Kampung Terpencil\u201d begitu signikan dengan Sungai Lembing kerana hampir keseluruhan penggambaran drama ini dilakukan di sini.\u00a0 Masyarakat setempat yang hadir dalam acara ini begitu teruja apabila kampung halaman mereka diangkat sebagai latar utama penggambaran drama ini. Tayangan drama \u201cPekan Kecil Kampung Terpencil\u201d di saluran RTM juga sekali gus dapat mempromosikan Pekan Sungai Lembing dan kawasan sekitar yang mempunyai keistimewaan dan keindahannya yang tersendiri.\nAntara yang hadir dalam acara tayangan wayang pacak tersebut ialah Encik Arifin Awang, Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Pahang dan Puan Sarena Mohd Salleh, Penolong Pengarah Unit Drama TV, RTM.\nDrama \u201cPekan Kecil Kampung Terpencil\u201d yang mengandungi 10 episod akan mula disiarkan pada 22 Ogos 2022 bersempena dengan bulan kemerdekaan." "Sendu dan Ceria, Irama Konsert Penghargaan buat Ahmad Nawab\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kebanyakan daripada lebih 2000 buah lagu ciptaan seniman negara, Dato\u2019 Seri Dr. Ahmad Nawab ialah lagu yang bertemakan rintihan, kekecewaan dan cinta yang berirama mendayu-dayu. Memang banyak penyanyi negara kita yang menjadi terkenal selepas menyanyikan lagu yang melodinya ciptaan Dato\u2019 Seri Dr. Ahmad Nawab. Antaranya ialah Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Uji Rashid, Datuk DJ Dave, Datuk Hail Amir, Allahyarham Latiff Ibrahim, Dato\u2019 Khadijah Ibrahim (Kathy Ibrahim), Dato\u2019 Jamal Abdillah, Shidee, Ramlah Ram dan Kazar.\nKonsert Tribute Seniman Negara Dato\u2019 Seri Ahmad Nawab di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 1 sehingga 3 Julai 2022 menampilkan nada kesedihan tersebut. Ternyata sebahagian besar daripada kira-kira 22 buah lagu yang didendangkan ialah suara kepiluan dalam keseksaan dalam bercinta.\nAntara lagu yang ditampilkan dalam konsert anjuran Binjamal Event Sdn. Bhd. bersama-sama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan IB ini ialah Kusangka Siang Kiranya Malam dan Sabar Menanti, nyanyian Dato\u2019 Khadijah Ibrahim, Sendiri, Perpisahan Tanpa Relamu dan Seniman Menangis (Dato\u2019 Jamal Abdillah), Kau Bungaku (penyanyi asalnya Dato\u2019 Shake), Janganlah Menghancurkan dan Sayang Semuanya Sudah Terlambat (Shidee), Tiada Maaf Bagimu (penyanyi asalnya Sharifah Aini), Cintaku Hanyut di Lautan Sepi, dan Kau Kunci Cintaku (Dalam Hatimu) (Ramlah Ram). Shidee dan Ramlah turut berpadu suara menyanyikan lagu Bertemu untuk Berpisah (yang dipopularkan oleh Hail dan Uji Rashid).\nWany Hasrita, penyanyi generasi baharu yang dipilih oleh penganjur turut senada apabila mendendangkan lagu Kali Terakhir Kulihat Wajahmu (Uji Rashid), dan Kau Tinggi di Awan Biru (Sharifah).\nBegitu pun, penganjur juga harus dipuji kerana mahu mengimbangi perasaan apabila turut menampilkan lagu-lagu berirama rancak-riang. Khadijah atau lebih dikenali sebagai Kathy Ibrahim misalnya menyanyikan lagu Ku Gembira di Sampingmu. Jamal Abdillah mendendangkan Aku Penghiburmu serta Taman Firdausi (Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham Puan Sri Saloma), serta Seiring dan Sejalan (Broery dan Sharifah Aini) bersama-sama Wany. Wany sendiri menyanyikan Oh di Mana Mustika Hati (Sharifah, dan Bossanova (Saloma). Shidee pula menyampaikan lagu Pilihlah Aku (penyanyi asalnya Latiff).\nSelepas Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dianggotai 60 orang pemuzik mempersembahkan instrumental Nawab Theme, iaitu rangkaian lagu popular komposer ini, kesemua penyanyi mendendangkan lagu Kasih yang dipopularkan oleh Allahyarham Dato\u2019 Sudirman Haji Arshad dan mendiang Broery. Orkestra DBKL yang mengiringi konsert dari awal hingga akhir sebelum itu membuka tirai persembahan dengan rangkaian lagu popular ciptaan Ahmad Nawab.\nSebelum finale lagu Kasih, Ahmad Nawab membuat kemunculan khas di pentas. Beliau yang kelihatan sihat dan gembira, begitu terharu ketika diwawancara oleh pengacara dari RTM, Fathilhidayat Ghazali. Menurut beliau, sejak lebih tujuh dekad mengabdikan diri dalam dunia muzik, ini kali pertama majlis tribute seumpama itu dianjurkan buatnya." "Jerayawara Jelajah Selama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSelama \u2013 Pada 1 hingga 3 Julai 2022, Persatuan Pelukis Perak (PPPk) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Pelukis SeMalaysia (GAP\u2019s) dan Gabungan Anak Seni Selama (GASS) telah mengadakan program seni visual bersama-sama komuniti di Pusat Kokurikulum Pendidikan Daerah Selama.\u00a0 Acara ini dinamakan jerayawara kerana mengumpulkan \u00a0semua bidang kesenian seperti lukisan, arca, kraf dan persembahan pentas.\nAcara yang dinaungi oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) ini telah menarik 80 orang pelajar, guru sekolah dan ibu bapa di daerah Selama, manakala 30 orang pelukis profesional dari GAP\u2019s, PPPk dan GASS telah menjayakan acara lukisan langsung (pleinair) di Lata Rambung dan Lata Damak, pertandingan lukisan doodle batik untuk pelajar sekolah rendah dan pertandingan lukisan di atas batu oleh pelajar sekolah menengah.\nPelukis profesional dan guru pendidikan seni memainkan peranan aktif sebagai fasilitator kepada pelajar. Penduduk dan pelajar yang terlibat berasa amat bertuah kerana pelukis profesional sudi datang ke tempat mereka demi berkongsi ilmu dan pengalaman dalam bidang seni lukis. Pelajar diperkenalkan dengan kaedah menggunakan bahan dan teknik yang betul untuk melukis.\nBagi rombongan pelukis yang datang ke Selama berasa amat teruja kerana diperkenalkan dengan sesuatu yang menarik. Terdapat tujuh buah lata, tempat mandi dan beristirehat di kawasan tersebut, iaitu Lata Rambung, Sungai Buaya, Batu Putih, Damak, Lubuk Gajah, Panggung dan Tebing Tinggi. Telaga Gergasi pula ialah sesuatu yang jarang-jarang diketahui umum kerana tidak dipopularkan. Telaga ini ialah tempat pertemuan beberapa anak sungai yang aliran airnya menuju ke tasik Bukit Merah. Kota Raja Bersiong merupakan tempat bersejarah di daerah Ijok, Selama yang kurang digali kerana berkemungkinan fakta dan mitos telah bercampur aduk membuat kisah keturunan Merong Mahawangsa itu diabaikan.\nMelalui tunjuk ajar tentang cara-cara merakam visual melalui kaedah lakaran, lukisan dan catan oleh pelukis, pelajar dan ibu bapa mendapat faedah ilmu dan pengalaman secara langsung. Bergaul dengan pelukis profesional daripada pelbagai latar belakang membuka minda masyarakat bahawa bidang seni lukis mampu membina kerjaya cemerlang.\nSementara itu, pelukis pula berpeluang bertemu masyarakat dalam suasana baharu dan budaya setempat yang unik. Sejenis sambal tradisi penduduk Selama\u00a0 yang dinamakan air garam yang disediakan oleh pihak katering amat sedap sehingga diperbicarakan panjang lebar oleh para pelukis. Diperbuat daripada cili, belacan, petai dan ikan rebus, sambal tersebut hanya terdapat di Selama. Pengetahuan baharu seperti ini akan menambah kepekaan pelukis dalam kepelbagaian budaya yang terdapat di situ.\nPada hakikatnya, aktiviti ini membantu pihak MOTAC dalam mempromosikan tempat menarik untuk dilawati oleh pelancong dari dalam dan luar negara. Seiring dengan itu, sektor ekonomi rakyat setempat juga akan berkembang maju.\nProgram selesai dilaksanakan seperti jadual, manakala semua pihak yang terlibat membawa kenangan dan ilmu baharu yang terpahat bagi dijadikan rujukan berguna apabila diperlukan. Pengurus Program Encik Syukri Ibrahim (Keri Ibrahim) memaklumkan bahawa siri jerayawara selepas Selama akan dilaksanakan di Kuala Kangsar pada penghujung Julai 2022." "Seni Muzik dan Seni Tari Bergabung dalam Sulur Nakasari\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Istana Budaya (IB) ialah pusat kecemerlangan seni yang berupaya menyediakan bakat dan kepakaran tenaga kreatif untuk merealisasikan apa-apa sahaja bentuk persembahan terutamanya tari, muzik dan teater.\nSambutan yang memberangsangkan daripada para peminat seni tanah air terhadap program tari seperti Corak Pentas Malaysia (Malaysian Floor Pattern), dan persembahan muzik, antaranya Pesta Muzik Gamelan Sedunia dan Konsert OTM Malaysian Diversity, telah mencetuskan idea untuk mementaskan persembahan yang berkonsepkan penciptaan muzik dan koreografi tari pula pada tahun ini. Persembahan tersebut yang diberikan judul Sulur Nakasari, akan dipentaskan pada 23 dan 24 Julai 2022, bermula pada pukul 8.30 malam di Panggung Sari, IB.\nSulur mewakili seni tari yang bakal menampilkan keunikan identiti negeri-negeri di Malaysia, sementara Nakasari pula mengambil unsur gabungan etnik tradisional Malaysia dengan irama muzik dunia yang kaya dengan pelbagai rentak.\n\nSulur Nakasari dianggap sebagai judul yang unik bagi sebuah pementasan yang bertujuan untuk memberikan pendedahan, memupuk minat dan meningkatkan aspirasi masyarakat terhadap pementasan seni tari serta gubahan muzik yang baharu dan tersendiri.\nProgram ini melibatkan persembahan 16 gubahan lagu baharu oleh pemuzik-pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia (OTM). Sepuluh daripadanya akan diiringi dengan 10 reka cipta koreografi tari oleh koreografer senior IB. Lagu-lagu yang selebihnya akan dimainkan tanpa iringan tarian.\nAntara komposer yang terlibat ialah Rosli Abu Bakar yang mencipta lagu Rentak Berentak, dengan koreografernya Sharifah Raha Syed Mustafa; Shamsul Zin (lagu Puteri Gunung Emas dan koreografernya, Hanipah Hairi), Radzi Rosli (Jeraus/Samsuraya Sulaiman); Zamzahardi Mohamad Zambrin (Bakarano/Abdul Mutalif Abu Bakar), dan Nik Nizam Jaafar (Perahu 12/tanpa koreografer). Mohd. Fikri mencipta tiga buah lagu, iaitu Ukhuwah dengan koreografernya, Saifful Hirman Mohd. Sofian, serta Prakasa dan Putar tanpa koreografi.\nShahwal Hussin, dan Noor Leyzam Ali pula masing-masing menghasilkan dua buah lagu. Shahwal mencipta Joget Cemara Sukacinta dengan koreografi oleh Azman Abu Bakar dan Dimosi. Noor Leyzam menghasilkan Sa Rung dengan koreografi oleh Khalid Mohamad Nor, dan Mulik (Pulang) tanpa koreografi. Konduktor OTM, Mohd. Yazid Zakaria sendiri mencipta dua buah lagu, iaitu Galang Baiduri dengan Zainal Abidin Bujang sebagai koreografer dan Daya Tari Ritma (Rudy De Luna).\nTiket boleh didapatkan di laman sesawang Istana Budaya bermula pada 4 Julai 2022, dan di Kaunter Box Office bermula pada 18 Julai 2022, dari pukul 10.00 pagi hingga 4.30 petang. Jika ada sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, hubungi Bahagian Pemasaran dan Pengurusan Panggung menerusi talian 03-4026 5555/5546/5553.\nOrang ramai yang ingin menonton persembahan ini perlu lengkap divaksin, memakai pelitup muka sepanjang persembahan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara, serta peraturan sedia ada di IB. Kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas dibenarkan menonton dengan syarat ditemani oleh ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap vaksinasi. Pihak IB berhak menghalang orang ramai yang bergejala dan tidak mematuhi SOP daripada memasuki premis." "Pemergian Hamid Gurkha, Kehilangan buat Dunia Komedi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nFoto: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS)\n\u00a0\nWalaupun sekadar diam dan belum lagi beraksi mengungkapkan sebarang dialog, melihat sahaja penampilan tubuh dan mimik mukanya sama ada di pentas, televisen atau layar perak, umum pasti mengenali personalitinya yang mencuit hati dan mudah membuatkan orang ketawa.\nItulah kelebihan pada pelawak legenda, Abdul Hamid Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai Hamid Gurkha dan mempunyai ramai peminat di seluruh negara, malah di Singapura, Indonesia dan Brunei Darussalam. Kalangan penggiat seni, malah masyarakat umum sendiri menyapa dirinya sebagai Pak Hamid atau Pak Mid.\nMimik muka, aksi serta ungkapan dialog lucu Pak Hamid melalui suaranya yang bersahaja dengan kedengaran sesekali seperti marah, pasti mudah diingati oleh masyarakat walaupun beliau kini sudah tiada lagi setelah menghembuskan nafas terakhirnya 20 hari lalu, selepas enam hari dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, iaitu pada 14 Jun 2022.\nPemergiannya ketika berusia 90 tahun disifatkan sebagai satu lagi kehilangan permata seni perfilemen tanah air khusus yang bersifat komedi setelah pasangan lawaknya di pentas dan filem, Dato\u2019 Jamali Syadat, kembali ke rahmatullah lebih setahun yang lalu pada 3 Februari 2021 ketika berusia 79 tahun.\nAllahyarham yang merupakan anak jati Kuala Lumpur dilahirkan pada 22 Ogos 1931 di Segambut dan terlibat menganggotai pasukan tentera ketika zaman British pada tahun 1952. Ketika berlatih kawad semasa latihan asas ketenteraan di Kem Latihan Tentera di Port Dickson itulah beliau mendapat gelaran gurkha seperti yang diceritakannya kepada penulis yang sempat mewawancaranya tidak lama dulu.\n\u201cPuncanya, saya ada melakukan sedikit kesilapan semasa latihan kawad dan Sarjan Jantan yang mengajar kami terus mencelah dan menyergah saya sebagai gurkha dan sejak itulah kawan-kawan yang lain menyapa saya sebagai gurkha yang turut terbawa-bawa gelaran itu sehingga ketika ditempatkan bertugas di kem lain,\u201d katanya berseloroh.\nNama Hamid Gurkha juga popular dan menjadi perhatian rakan setugas serta ahli keluarga mereka setelah kerap menyaksikan persembahan lawaknya yang mencuit hati semasa diadakan sesuatu acara dan majlis keraian di kem tentera. Allahyarham mula hidup berkeluarga setelah mendirikan rumah tangga dengan Timah Abdul Hamid pada April 1957. Setelah enam dekad perkahwinan, mereka dikurniakan lapan orang cahaya mata dengan jumlah keluarga kini semakin besar dengan kehadiran 32 orang cucu dan 18 orang cicit.\nSeluruh ahli keluarga memang amat terasa dengan pemergiannya itu oleh sebab sifatnya sebagai bapa dan datuk yang penyayang dan mudah mesra.\nAnak bongsunya, Nor Ashita Abdul Hamid, 47 tahun, tetap ingat pesanan arwah ayahnya untuk terus menjaga dan menyayangi ibu mereka serta memastikan hubungan silaturahim sesama adik-beradik, menantu, cucu dan cicit sentiasa terpelihara.\nAshita turut merakamkan ucapan terima kasih kepada jiran, kenalan termasuk ahli Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) serta pengarah, pelakon, artis dan kru penggambaran filem yang sudi menziarahi dan mendoakan bapanya ketika semakin uzur kebelakangan ini dengan kurang keupayaan untuk mendengar dan sukar untuk bercakap.\nSebagai tanda prihatin kerajaan dan menghargai sumbangan pentingnya kepada bidang perfilemen tanah air, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim sendiri turut mengetuai rombongan menziarahinya pada Mei 2022. Beliau turut memberikan semangat dan kata perangsang serta menghulurkan sumbangan kebajikan untuk ahli keluarga.\nPenglibatan awal Allahyarham dalam bidang seni sebenarnya bermula setelah menyertai Pertandingan Bintang Radio pada tahun 1965 dan menjuarai pertandingan itu. \u201cSejak itu, beliau kerap diundang mengadakan persembahan di pentas hiburan di samping menyertai rancangan lawak jenaka bersama-sama pelawak lain di Radio Malaysia. Kekerapan penampilannya itu menjadikan beliau semakin popular bermula pada era 1970-an dengan kesempatan tampil pula dalam rancangan hiburan di TV, pentas dan filem,\u201d kata penyelidik lagu dan filem Melayu, Muhammad Hashim yang mengikuti perkembangan seninya sejak awal.\nMelalui TV RTM, lawak komedinya pernah ditampikan melalui Jenaka Hang Setia (1988) dan Hikayat Sang Setia (1992) di samping kerap muncul sebagai artis undangan bersama-sama dengan pelawak lain dalam beberapa hiburan TV termasuk rancangan khas pada musim perayaan.\nJack Nadarajah, mantan penerbit hiburan TV RTM yang beberapa kali mengundang Hamid sebagai artis dalam rancangan terbitannya menganggap beliau sebagai pelakon komedi hebat yang sangat komited dan mudah menghayati arahan untuk menjadikan persembahannya menarik dan terhibur. \u201cMalah, saya sebagai penerbit dan kru penerbitan serta artis lain sering tercuit hati dan turut ketawa melihat aksi dan gurauannya semasa kami berbincang, sesi latihan dan raptai sebelum persembahan dan rakaman,\u201d kata Jack.\nBeliau menyifatkan Hamid mudah menyesuaikan penampilannya dengan sesiapa sahaja artis komedi yang digandingkan bersamanya selain Allahyarham Dato\u2019 Jamali Syadat yang sering menjadi pasangan lawaknya. Dialognya walaupun kedengaran bersahaja dan lucu tetapi sebenarnya turut termuat mesej penting untuk masyarakat terutama untuk memupuk budaya mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.\nReaksi yang sama turut diberikan oleh beberapa orang pengarah dan pelakon lain dalam penggambaran di lokasi yang melibatkan lakonan Allahyarham. Aksi lucu lakonannya memang terserlah sejak filem pertamanya, Panglima Badol pada tahun 1978 yang diikuti dengan filem Gila-gila (1979), Sikit Punya Gila (1982), Aku Yang Berhormat (1983), Talak (1984), Jejaka Perasan (1986), Ragam Pemandu (1989), Main-main Hantu (1990), Konstabel Mamat (1992), Impian (1996), Silat Lagenda (1998) dan Senario the Movie (1999). Dalam filem berkenaan, Allahyarham sering digandingkan dengan watak utama bagi menggerakkan perjalanan sesuatu cerita.\nKetika mencecah usia 70 tahun dan memasuki era tahun 2000-an, beliau masih mendapat undangan berlakon dalam beberapa filem termasuk Zombi Kampung Pisang (2007), Alamak Toyol (2011), Abang Legen (2015) dan Kerja Kahwin (2017). Filem terakhir lakonannya ialah Superbike the Movie (2020).\nDisebabkan oleh penilaian bakat dan kebolehannya beraksi dengan lawak yang mencuit hati, Hamid pernah terpilih sebagai Artis Komedi Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) pada tahun 1982 dan penerima Anugerah Seniman Legenda MELETOP pada tahun 2021.\nWalaupun kini sudah tiada lagi, tetapi kerinduan peminat kepadanya pasti terubat apabila sesekali dapat menonton beberapa filem lakonannya yang masih diulang tayang di stesen TV. Bersama-samalah kita menyedekahkan Surah al-Fatihah kepada Allahyarham sambil mendoakan semoga rohnya dicucuri dirahmat oleh Allah SWT dan ditempatkannya bersama-sama orang yang beriman." "Pos Malaysia Keluarkan Setem Edisi Khas Koleksi Perahu Tradisional Malaysia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pos Malaysia Berhad telah mengeluarkan setem edisi khas koleksi perahu tradisional Malaysia pada 29 Jun 2022. Setem ini merupakan hasil kajian Dr. Mohd Rohaizat Abd Wahab yang merupakan Pegawai Sains di Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), Universiti Putra Malaysia (UPM).\nKoleksi setem terbaharu ini menampilkan tiga jenis perahu tradisional Malaysia, iaitu kolek barat, bangkong dan lepa. Dalam sampul surat hari pertama koleksi ini dipaparkan penerangan berkaitan dengan jenis-jenis perahu yang terdapat dalam koleksi setem khas kali ini.\nKolek barat merupakan satu daripada perahu tradisional yang popular di Pantai Timur yang khususnya lebih banyak digunakan di sebelah Pantai Besut dan Kelantan. Perahu ini dipanggil Kolek Barat kerana dihasilkan di wilayah Patani, Thailand. Perahu ini mempunyai ukiran serta hiasan yang menarik dan diwarnakan dengan pelbagai warna dan corak walaupun hanya digunakan untuk menangkap ikan. Antara hiasan yang paling menonjol pada sesebuah perahu kolek ialah bangau, caping dan okok.\nBangkong pula merupakan perahu parang atau perau pengayau masyarakat Iban. Bangkong diperbuat sepenuhnya daripada kayu-kayan terpilih yang terdapat di hutan Borneo. Sebanyak 20 orang pemuda Iban yang tegap lagi gagah perkasa diperlukan bagi mengemudi perahu ini. Pada tahun 1915, masyarakat Iban dari Gensurai, Sarawak telah menerima notis pemberitahuan daripada Rajah Charles Brooke untuk menyertai Ekspedisi Mujong dan perahu ini digunakan dalam ekspedisi tersebut. Perahu ini dipindahkan dan dipamerkan di perkarangan Muzium Sarawak, Kuching, pada tahun 1969 dan kini dipamerkan di Aras 4, Muzium Kebudayaan, Muzium Kebudayaan Borneo yang terletak di bandar raya, Kuching, Sarawak.\nSetem terakhir yang ditampilkan dalam koleksi edisi khas jenis perahu tradisional Malaysia ini ialah lepa. Lepa bermaksud rumah perahu. Walau bagaimanapun, apabila digunakan sebagai kemudahan pengangkutan untuk mengangkut barangan dan orang ramai dari satu pulau ke pulau yang lain, perahu ini dipanggil bayanan.\nFungsi lepa telah berkembang dan berubah, dan kini dikaitkan sebagai objek nyata dalam memanifestasikan warisan budaya negeri Sabah secara amnya dan Semporna khususnya. Produk pelancongan Regatta Lepa telah meningkatkan kesedaran dan rangsangan terhadap lepa selain memberikannya nafas baharu dalam menghargai tradisi peninggalan nenek moyang mereka. Lepa akan terus menjadi simbol budaya yang menarik khususnya dalam mewakili identiti komuniti Bajau di pantai timur Sabah.\nSet folder keluaran setem edisi khas koleksi perahu yang berharga RM54.80 ini mengandungi dua helaian setem dengan denominasi 30 sen dan 50 sen; satu lembaran mini; dua sampul surat hari pertama dengan setem dan satu folder.\nDapatkan folder set setem ini untuk mengetahui sejarah, warisan dan budaya negara kita berkaitan dengan perahu tradisional. Orang awam yang ingin menambah koleksi setem peribadi boleh mendapatkannya secara dalam talian melalui pautan ini." "Radiasi Merebakkan Kreativiti Generasi Pandemik\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pandemik yang melanda memunculkan ilham dan kreativiti untuk berkarya. Begitu juga bagi kumpulan pelajar Program Pengajian Asasi Seni Kreatif, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang telah dengan jayanya mementaskan sebuah persembahan berjudul Prosamania: Radiasi di Black Box, ASWARA pada 1 hingga 2 Julai 2022 yang lalu.\nProsamania merupakan pementasan tahunan yang dianjurkan oleh kumpulan pelajar semester akhir pengajian Asasi Seni Kreatif ASWARA. Menurut Encik Rosman Ishak, Dekan Pusat Pengajian Asasi Seni Kreatif ASWARA, menerusi pementasan ini, para pelajar dituntut untuk bekerja dalam suasana kolektif sekali gus menguji keupayaan kreativiti, kesepakatan, bakat dan elemen teoritikal yang diterjemahkan dalam bentuk praktikal serta menunjukkan kerjasama diantara pelbagai bidang seni.\nTahun ini, Radiasi menjadi naskhah yang dipilih untuk dipentaskan. Radiasi menghimpunkan tiga kisah yang melibatkan tiga kumpulan watak berbeza-beza yang perlu mengharungi fasa pandemik dan pascapandemik yang penuh cabaran tersendiri.\nWalaupun berkonsepkan minimalis dengan rekaan pentas yang sederhana, pementasan Radiasi sebenarnya sarat dengan cerita yang sebenarnya sedia merebak dalam kalangan kita. Pementasan arahan Iyla Muhd ini mengetengahkan isu yang berlegar dalam kalangan masyarakat tatkala pandemik.\nPertama, kisah pasangan muda yang cuba untuk mencari keserasian setelah selama ini hanya sekadar berhubung melalui aplikasi dalam talian.\nKedua, kisah seorang anak yang mengalami gejala kesihatan mental setelah COVID-19 meragut nyawa ahli keluarganya sendiri.\nKetiga, kisah pasangan suami isteri yang berdepan dengan masalah komunikasi dan perlu mengikuti kaunseling rumah tangga.\nSebagai sebuah pementasan bakat anak muda, penonton disajikan bukan sahaja dengan mutu lakonan pelakon pemula yang menjanjikan. Malah, persembahan muzik dan tarian tradisi pelbagai kaum yang dijalin sepanjang pementasan berhasil memukau penonton. Gimik paparan multimedia dan animasi ialah simbol pementasan generasi baharu. Setiap elemen pementasan ini sebenarnya membantu penonton untuk memahami alur cerita yang tidak linear.\nRadiasi yang ditulis oleh penulis bersama, iaitu Ratu Yousei, Arief Hayqal dan Syahir Masyhor ini boleh dikenang sebagai sebuah pementasan yang unik. Slot persembahan instrumen muzik tradisional Borneo, Sape dan Veena \u2212 instrument muzik masyarakat India \u2013 benar-benar mencuri tumpuan.\nTepukan gemuruh serta reaksi penonton di Black Box ASWARA membuktikan objektif pementasan untuk mempamerkan bakat dalam kalangan pengkarya pemula ini berhasil dengan jayanya.\nRadiasi bukan sekadar sebuah pementasan. Radiasi ialah suara generasi baharu yang melontarkan ekspresi dan aspirasi menerusi sebuah kolektif seni persembahan. Semoga suara generasi ini akan terus didengari dan kerja seni akan terus dihargai dan merebak dan bersinar seperti radiasi!" "Semangat Kebangsaan Menerusi Bahasa dalam Era Digital\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\n\u00a0\nKUALA LUMPUR \u2013 Masyarakat kini berada dalam abad yang penuh cabaran kerana berhadapan dengan perkembangan dan pengaruh teknologi maklumat dan komunikasi. Oleh itu, cara hidup masyarakat dan sistem nilainya perlu berubah dengan terus memperteguh penggunaan bahasa Melayu. Bahasa Melayu lambang jati diri dan semangat kebangsaan yang harus dipertahankan oleh masyarakat.\nMelihat peri pentingnya bahasa Melayu pada abad ini, Persatuan Kemajuan Wanita Kelantan di Kuala Lumpur dan Selangor (PUSPA) dengan kerjasama Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM dan Forest Edge Production telah menganjurkan program Syarahan Kijang Kencana bersempena dengan bulan Ogos sebagai bulan kemerdekaan. Program syarahan yang turut dihadiri oleh Penaung PUSPA, iaitu Yang Mulia Tan Sri Dato\u2019 Paduka Tengku Noor Zakiah Tengku Ismail (usahawan wanita terkenal di Malaysia dan di persada dunia), yang bersiaran secara langsung melalui Facebook PUSPA pada pukul 11.00 pagi tadi itu membawa tema \u201cBahasa Melayu, Budaya, Undang-undang dan Era Digital\u201d.\nSyarahan Kijang Kencana yang saban tahun diadakan di Kediaman Yang Berhormat Mulia Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, iaitu Penasihat I PUSPA, tidak dapat diadakan secara bersemuka kerana pandemik COVID-19. Syarahan yang julung-julung kali diadakan secara maya itu menampilkan tokoh bahasa, iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Haji Abdul Karim, Penasihat II PUSPA, Profesor Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz, Penyandang Kursi, Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM dan Datuk Yasmin Mahmood, Pengerusi Skymind Holdings Bhd. Moderator bagi syarahan tersebut ialah Profesor Kehormat Dr. Azizah Hamzah dari Universiti Malaya yang juga merupakan Presiden PUSPA.\nMelalui syarahannya yang bertajuk \u201cBahasa Jiwa Bangsa: Satu Tamadun Satu Bahasa\u201d, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah menyatakan bahawa antara cabaran terkini bahasa Melayu di negara ini ialah pengaruh penggunaan bahasa Inggeris yang amat kuat disebabkan oleh sejarah penjajahan dan dasar peminggiran bahasa Melayu.\n\u00a0\nSikap tidak peka dalam diri rakyat termasuklah orang Melayu sendiri yang terlalu kagum akan bahasa Inggeris dan kurang yakin akan keupayaan bahasa kebangsaan itu sendiri menyebabkan semangat untuk menyemarakkan bahasa kebangsaan menjadi luntur. Contohnya, mereka memilih untuk berbahasa Inggeris dalam situasi yang memerlukan penggunaan bahasa kebangsaan seperti dalam mesyuarat rasmi.\nBeliau juga tidak menafikan kepentingan menguasai bahasa lain seperti bahasa Inggeris tetapi bahasa Melayu perlulah diutamakan. Masyarakat juga mesti memupuk sikap yang baik terhadap bahasa kebangsaan sendiri, iaitu berasa bangga dan setia terhadapnya dan sentiasa menghormatinya melalui penggunaan bahasa yang baik dan betul selain perlu mewujudkan suasana menjiwai bahasa kebangsaan. Aspek emosi juga perlu dibina dengan sifat menghayati keindahan dan kecantikan bahasa. Suasana mesra bahasa juga perlu sentiasa diamalkan kerana bahasa lambang tamadun bangsa.\nPerkara ini turut diperakui oleh penceramah kedua, Profesor Datuk Dr. Shamrahayu yang memperihalkan beberapa undang-undang berkaitan dengan bahasa Melayu. Misalnya, Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Akta Dewan Bahasa 1959 (Disemak 1978) (Akta 213) yang menetapkan peranan dan kedudukan bahasa Melayu.\n\u201cMaka itu, bahasa Melayu hendaklah digunakan bagi maksud rasmi. Bagi tujuan Perkara 152, maksud rasmi bererti, \u2018Kerajaan\u2019 sama ada \u2018Kerajaan Persekutuan\u2019 atau \u2018Kerajaan Negeri\u2019, dan termasuklah \u2018apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam\u2019,\u201d ujarnya menerusi syarahan yang bertajuk \u201cBahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan: Masa Depannya\u201d.\nDalam mendepani era teknologi maklumat dan komunikasi pula, selain menitikberatkan penggunaan bahasa Melayu yang baik, Datuk Yasmin Mahmood menerusi syarahannya yang bertajuk, \u201cCabaran Dunia Digital dan Inovasi: Di Manakah Kita?, mengajak masyarakat untuk melangkah ke hadapan dengan memanfaatkan teknologi terkini dan melakukan inovasi dalam kehidupan. Hal ini demikian kerana dalam Revolusi Industri 4.0, teknologi memberikan impak yang besar kepada sektor ekonomi. Melalui teknologi, tampil pelbagai kerja baharu untuk masa depan yang mampu meningkatkan produktiviti dan kemajuan bangsa.\n\u00a0\nJelas beliau lagi, masyarakat pada hari ini perlu sedar dan bersiap siaga menerima perubahan dengan melengkapkan diri dengan dua perkara penting, iaitu kemahiran berfikir (pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan pemikiran kreatif) dan kemahiran tingkah laku (bercerita dan kemahiran bekerjasama). Kemahiran ini berupaya menjanakan inovasi dalam kalangan masyarakat untuk diadaptasi dalam dunia pekerjaan dan teknologi digital dan akan menentukan kedudukan seseorang dalam dunia digital. Dalam meningkatkan kemahiran dan mengupayakan teknologi, beliau turut mengingatkan masyarakat agar mengetengahkan bahasa Melayu dalam ruang siber supaya bahasa Melayu menjadi bahasa ekonomi dan bahasa teknologi.\nPada akhir syarahan, Profesor Dr. Azizah selaku moderator merumuskan bahawa landskap budaya masyarakat Malaysia mempunyai masa hadapan depan yang cerah sekiranya generasi kini bangkit mengadaptasikan teknologi dengan memanfaatkan bahasa Melayu dan kemahiran ilmu yang ada. Syarahan yang berlangsung selama dua jam lebih yang dikendalikan oleh pengacara majlis, Puan Siti Noorisa Abdul Khlil itu turut dihadiri oleh ahli PUSPA, pelajar institusi pengajian tinggi dan masyarakat awam." "Raja Muda Perlis Memeriahkan Program Ekspresi Muzik Jalanan Bersempena dengan Program Kayuhan MAIPs Peduli\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Perlis \u2013 Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra singgah di Program Ekspresi Muzik Jalanan di Dataran Putra, Kampung Hujung Tanjung pada 5 Julai 2022 yang menjadi satu daripada tempat hentian dalam Program Kayuhan MAIPs Peduli. Dalam Program Kayuhan MAIPs Peduli ini, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis memulakan kayuhan dari Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).\nDYTM Tuanku Raja Muda Perlis tidak berkeseorangan dalam kayuhan ini apabila turut ditemani oleh peserta kayuhan yang lain, termasuklah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran.\nSebelum singgah di Program EMJ ini, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis terlebih dahulu singgah di Dewan KRT, Kampung Tengah untuk menyaksikan Program Indahnya Bahasaku. Program tersebut menampilkan acara pertandingan Jejak Bahasa, Pertandingan Mewarna Lukisan dan Kuiz Semarak Bahasa dan Sastera. Dari Dewan KRT, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis meneruskan perjalanan ke program EMJ di Kampung Hujung Tanjung.\n\u00a0\nKetika berada di program EMJ, baginda berkenan untuk menyempurnakan gimik Program EMJ yang merupakan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Sahabat Penghibur Jalanan dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perlis.\n\u00a0\nSelain itu, keberangkatan tiba DYTM Tuanku Raja Muda Perlis turut diserikan dengan persembahan Tari Bunga Silat oleh penari kebudayaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perlis. Persembahan ini dilihat berjaya memukau penonton yang menyaksikannya.\n\u00a0\nSelain itu, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis juga berkenan untuk mengurniakan hadiah kepada pemenang program EMJ. Sebanyak 11 hadiah disediakan dalam program ini yang meliputi tiga hadiah tempat pertama hingga tempat ketiga, tujuh hadiah sagu hati dan satu hadiah persembahan terbaik. Pemenang tempat pertama dan pemenang persembahan terbaik menerima hadiah yang agak lumayan, iaitu wang tunai sebanyak RM3000. Selain wang tunai, pemenang juga memperoleh sijil penyertaan.\n\u00a0\nBagi mengadili pertandingan Program EMJ ini, pihak penganjur melantik tiga orang juri yang terdiri daripada Encik Mohd Noor Shafali Awang (Ketua Operasi dan Pentadbiran Pengurusan Busker Malaysia), Encik Megat Mohd Noor Megat Teh (pensyarah muzik) dan Encik Izwan Izhar Haris (pensyarah Universiti Malaysia Perlis \u2013 UniMAP). Dalam proses pemarkahan, juri mempertimbangkan aspek mutu suara (30%), gubahan muzik, lagu dan bahasa (30%), gaya persembahan (30%) dan bonus (10%). Dalam aspek mutu suara, aspek vokal dan dan sebutan menjadi perhatian. Dalam aspek gubahan muzik, lagu dan bahasa pula, aspek tempo, susunan lagu, olahan lirik yang sesuai, pemilihan kata yang kreatif, serta teknik dan gaya bahasa dilihat secara terperinci. Akhir sekali, dalam aspek gaya persembahan, aspek penghayatan, penampilan, kualiti dan persembahan menjadi perkara yang perlu dipertimbangkan.\nTujuan program ini diadakan adalah untuk menarik minat dan kesedaran masyarakat untuk memupuk rasa cinta dan megah akan bahasa kebangsaan, mencungkil bakat baharu dalam kalangan pemuzik jalanan dari segi penghasilan lirik dan gubahan lagu yang bermutu dalam bahasa Melayu, selain menjalinkan sinergi dengan pelbagai pihak demi memartabatkan bahasa Melayu.\nProgram satu hari yang bermula seawal pukul 8.00 pagi ini berjaya menarik penyertaan daripada 10 kumpulan pemuzik jalanan dari tiga buah negeri, iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Setiap kumpulan hanya perlu mempersembahkan sebuah lagu yang menjadikan keseluruhan 10 lagu yang perlu dipersembahkan. Sepuluh lagu ini ialah Rindu (Eden), Sujudku (Jiwa Buskers), Malaysiaku Sejahtera (Astronomy Band), Nur Qalbi (J\u2019M\u2019W Buskers), Abadikan Kenangan (D\u2019Syond Buskers), Rintihan Kudus (Pekola Buskers), Kisah Kehidupan (Mask Buskers), Kedamaian Dicari (Black Snake), Aku Datang Ingin Menjagamu (Topeng) dan Keinsafan (Geliga Buskers).\nIstimewanya dalam program ini, setiap kumpulan pemuzik jalanan mempersembahkan lagu dan gubahan muzik yang dicipta sendiri, khusus untuk program EMJ dengan tema kekeluargaan dan ketuhanan. Lagu tersebut belum pernah dipersembahkan dalam mana-mana persembahan mereka sebelum ini.\nSetiap kumpulan menampilkan persembahan yang memukau penonton. Menerusi Program EMJ, pemuzik jalanan dapat membuktikan bahawa mereka bukanlah pemuzik \u201cbiasa\u201d tetapi mempunyai mutu dan kelas yang tersendiri. Kehadiran penonton juga memberangsangkan apabila khemah dan kawasan Dataran Putra, Kampung Hujung Tanjung dipenuhi dengan penonton yang datang dari seluruh negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.\n\u00a0\nKumpulan Pekola Buskers (Perlis) diumumkan sebagai johan pertandingan, manakala naib johan dimenangi oleh Jiwa Buskers (Pulau Pinang) dan tempat ketiga dimenangi oleh Geliga Buskers (Kedah). Pemenang program EMJ sangat bertuah apabila DYTM Tuanku Raja Muda Perlis bukan sahaja menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada mereka, tetapi turut berkenan untuk bersama-sama pemenang dalam sesi fotografi.\n\u00a0\nProgram EMJ sesungguhnya menjadi jambatan kepada DBP dalam usaha untuk membina sinergi bersama-sama pelbagai pihak, termasuklah pihak istana dan sebagai usaha untuk memartabatkan bahasa dan persuratan." "INSWA Pelihara Warisan Joget Serampang Laut\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBandaraya Melaka \u2013 Dalam Usaha memelihara seni warisan Melayu Melaka khususnya tarian tradisional agar tidak luput ditelan arus pembangunan zaman, Institut Warisan Melaka (INSWA) mengambil inisiatif mengadakan kerjasama menjalankan kajian gerak tari Joget Serampang Laut. Kajian yang dijalankan dengan kerjasama seorang penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang itu telah diadakan di USM pada pertengahan Mei lalu.\nMenurut Pengurus Besar INSWA, Nurman Mohd Baroldin, Joget Serampang Laut merupakan tarian tradisional yang berasal dari Melaka dan mula diperkenalkan pada sekitar tahun 1970-an oleh Allahyarham Syed Manaf.\nAllahyarham Syed Manaf merupakan mentor dan guru kepada Ketua Unit Kebudayaan INSWA Noriah Ahmad yang turut memainkan peranan dalam menyuburkan seni tarian tersebut kepada generasi masa kini.\n\u201cKajian yang diadakan pada 17 dan 18 Mei lalu ini bertujuan memelihara warisan tarian dan diselia oleh Pensyarah Pusat Pengajian Seni USM, Dr. Nur Zaidi Azraai,\u201d katanya.\nNurman menjelaskan, bagi melaksanakan kajian tersebut, penyelidik USM telah menggunakan teknologi Tangkapan Gerakan (Motion Capture) untuk merakam pergerakan pasangan penari INSWA yang bertujuan untuk memahami serta mendalami ragam dan pergerakan tarian tersebut.\nKatanya, teknologi Tangkapan Gerakan tersebut bertujuan untuk merakam pergerakan pasangan penari sewaktu menarikan Joget Serampang Laut yang akan digunakan sebagai sumber rujukan bagi kajian yang sedang dijalankan.\n\u201cMenerusi bantuan teknologi yang canggih ini, setiap ragam Joget Serampang Laut ini mampu dirakam dengan lebih jelas dan terperinci berbanding dengan menggunakan rakaman video biasa,\u201d katanya.\nTambah Nurman, menerusi kajian yang dijalankan itu bukan sahaja dapat memelihara tradisi warisan Melayu secara menyeluruh, malah pemvisualan mikro terhadap gerakan itu dapat memberikan pemahaman yang lebih jelas terhadap falsafah warisan tersebut.\nMemelihara warisan secara praktikal tidak mencukupi jika falsafah dan maksudnya tidak difahami. Oleh itu, penerokaan visual mikro ini berpotensi untuk memberikan pandangan yang jelas kepada falsafah warisan tersebut.\nSelain itu, potensi daripada visual tersebut juga boleh diolah untuk kepelbagaian tujuan seperti mentransformasikan simbol tersebut menjadi seni kraf Melayu, pada masa sama menterjermahkan bahasa gerak tubuh kepada visual bagi pemahaman yang lebih teliti kepada ekspresi dan maksud gerak tari tersebut,\u201d katanya.\nSelain menjalankan kajian, delegasi INSWA ke Pulau Pinang turut mengadakan Bengkel Gerak Tari yang bertempat di Panggung Sasaran USM yang disertai pelajar jurusan Seni Persembahan USM, diketuai oleh Dr. Andika Aziz Hussin selaku Ketua Unit Drama dan Teater, Pusat Pengajian Seni USM. Bengkel tersebut diadakan bagi mengajar asas pergerakan tubuh badan dalam tarian kepada para pelajar drama dan teater yang baru memulakan kelas secara bersemuka." "Muzikal Moyang Salleh Dipentaskan Sempena Sambutan Hari\u00a0Kebangsaan ke-65\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini, teater Muzikal Moyang Salleh (MMS) akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, dari 26 sehingga 31 Ogos 2022, bermula pada pukul 8.30 malam. Diterbitkan oleh Karyawan Negeri Sembilan dengan kerjasama Badan Kebajikan Ahsan Undang Luak Jelebu, dan dinaungi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, MMS dijangka menampilkan lebih 150 tenaga produksi, termasuk pelakon, penari, pemuzik dan kru.\nPelancaran rasmi MMS diadakan di Auditorium Mini, Pusat Pelancongan Malaysia pada 5 Julai 2022 lalu dan disempurnakan oleh Dato Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari Ismail Mohd Zain yang mewakili Yang Teramat Mulia Undang Luak Jelebu 16, Dato\u2019 Mendika Menteri Akhirulzaman Dato\u2019 Maarof Mat Rashid.\nMenurut Pengarah MMS, Roslee Mansor, para pelakon yang terpilih dalam pementasan teater ini memang berpengalaman luas dan berbakat besar. Sementelah pula, kesemuanya diberikan tanggungjawab mementaskan teater ini setelah melalui sesi uji bakat.\n\u201cMemang pada mulanya saya telah membayangkan beberapa orang pelakon tertentu untuk watak tertentu. Akan tetapi, akhirnya saya membuka pemikiran dan membuat keputusan untuk mengadakan sesi uji bakat. Ramai pelakon terkenal dan hebat menjalaninya, termasuklah Dato\u2019 Ahmad Tamimi Siregar yang kemudian terpilih memegang watak Moyang Salleh,\u201d jelas Roslee yang juga salah seorang \u201corang lama\u201d teater tanah air.\nAntara pelakon yang terpilih ialah Khir Rahman sebagai Sultan Abdul Jalil Muazam Shah, Hairi Safwan (Datuk Bendahara), Along Eyzendy (Si Amat), Mubarak Majid (Datuk Temenggung), Amran Nasrudin (Pembesar Johor), Zuhairi Ibrahim (Tok Laut Api), Kamarul AR (Datuk Penghulu Johol) dan Eliza Mustapa (Moyang Timah).\nSemasa sidang media pelancaran rasmi teater muzikal ini, Roslee turut menjelaskan bahawa tempoh latihan yang tidak terlalu panjang juga dapat bermanfaat, seperti memberikan peluang kepada pelakon menyelesaikan beberapa hal dan menjimatkan kos produksi.\nMMS berdasarkan legenda figura seorang pemimpin Melayu bernama Moyang Salleh dari daerah Jelebu. Membawa kisah perjuangan, pengorbanan serta seni dan budaya masyarakat Melayu Negeri Sembilan, teater ini turut menampilkan kelainan dari segi seni persembahan dan teknikal serta keunikan tersendiri apabila menggunakan sepenuhnya dialek atau loghat Negeri Sembilan sebagai bahasa pertuturan.\nPersembahan visual karya seni apa-apa pun tidak menarik tanpa unsur kekaguman. Antara unsur kekaguman MMS ialah menampilkan kemampuan Moyang Salleh berjalan di atas air dan berada di tempat yang berbeza dalam sekelip mata. Kehebatan empat orang pembantunya, iaitu Tok Beruang Hitam (Lizart Rashid), Tok Gagah Lela Perkasa (Raja Hafiz), Tok Bauk (Zaim Zainal) dan Tok Laut Api juga akan ditampilkan.\nMMS akan turut diserikan oleh lebih 16 buah lagu yang dicipta dan digubah, berserta dialog yang mampu menghiburkan penonton dengan irama, selain nyanyian, tarian dan lakonan. Teater ini juga diperkemas lagi dengan penampilan muka baharu seperti Mellisa Kelvin sebagai Seri Banun dan Nen Tebabo, penyiar dari radio Negeri FM (Cik Kembang Dara). Menurut Roslee, kemampuan berlakon, menyanyi dan menari membuatkan Melissa terpilih memegang watak utama.\nMenariknya, MMS merupakan teater muzikal yang pertama dipentaskan di IB sejak bermulanya fasa endemik pada 1 April lalu. Moyang Salleh sangat dihormati dan begitu banyak berjasa kepada masyarakat. Beliau suka merendah diri meskipun disegani dan kata-katanya sangat didengari. Ketika memimpin Jelebu, kawasannya aman damai dan tiada musuh yang berjaya menceroboh. Beliau sendiri mempunyai sebilah keris sakti dan dibantu oleh Tok Laut Api, Tok Beruang Hitam, Tok Gagah Lela Perkasa dan Tok Bauk.\nKonflik tercetus apabila anak sahabat Moyang Salleh, Si Amat dibunuh oleh Sultan Johor ketika itu, Sultan Abdul Jalil, yang suka merampas isteri dan tunangan orang. Sebagai akibatnya, seluruh daerah bersatu mahu memerangi Kerajaan Johor yang zalim itu.\nMoyang Salleh dihantar sebagai utusan untuk menuntut hak dan mendapatkan penjelasan daripada Sultan Johor. Di pusat empayar Kesultanan Johor yang mempunyai ribuan askar, Moyang Salleh dan empat pahlawannya berdiri gagah untuk menuntut hak mereka.\nNamun demikian, Sultan Johor terlalu angkuh dan enggan menemui mereka. Mereka sebaliknya dipermain-mainkan dan dilayan dengan kasar. Oleh sebab pantang dicabar, Moyang Salleh dan pahlawan berempat mula menunjukkan kehebatan masing-masing.\nTurut menghadiri majlis sidang media pelancaran rasmi MMS ialah penerbitnya, Hajjah Salbiah Zahari; penulis skrip, Subroto Katimin; Azhar Jalil (pelakon kedua Si Amat), Amran Nasrudin, Zuhairi Ibrahim, Raja Hafiz, Zaim Zainal, Kamarul AR, Hussin Hassim (Datuk Penghulu Sungai Ujong), Abdul Mutalif Abu Bakar (pengarah tari), Sakrani Shamsuddin (pereka set dan tukang), Fazreen Mohd (penolong pengarah), Suhairi Sulaiman (pengurus publisiti dan promosi), serta Ahmad Tamimi, dan Melissa Kelvin sendiri.\nSementara itu, Salbiah menyatakan beliau sentiasa mendoakan kejayaan dan impak yang baik menerusi muzikal ini kepada masyarakat. Sehubungan dengan itu, jelas beliau, produksi menyediakan diskaun hebat yang jarang-jarang diberikan oleh produksi lain, iaitu antara 10 peratus hingga 20 peratus untuk pembelian awal, bermula pada 24 Jun lalu hingga 31 Julai 2022.\nBagi pembelian tiket secara pukal (10 tiket ke atas), diskaun 10 peratus akan diberikan. Pelajar dan warga emas pula akan diberikan diskaun lima peratus daripada harga asal.\nMereka yang berminat boleh juga menghubungi 012 275 5981 (Urus Setia), 014 636 4636 (Suhairi), 017 375 2739 (Adibah), dan 017 644 6120 (Firdaus) untuk pertanyaan pembelian tiket, dan mengikuti maklumat serta aktiviti terkini di Facebook muzikal ini." "Wacana Manuskrip Melayu PNM Singkap Sejarah Santubong sebagai Negeri Melayu Kedua Tertua di Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 \u00a0Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menerusi Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu (PKMM) menganjurkan Wacana Manuskrip Melayu yang mengutarakan topik \u201cManuskrip Melayu-Jawi di Sarawak: Menobatkan Santubong sebagai Negeri Melayu Kedua Tertua di Dunia\u201d, bertempat di aras 10, Menara PNM, pagi ini. Wacana siri kedua bagi tahun 2022 ini menampilkan YBhg. Datu Dr. Sanib Said, seorang anak watan dan Pakar Sejarah Sarawak sebagai pembentang.\n\nPNM menerusi satu kenyataan menyatakan, \u201cProgram wacana ini dilaksanakan bertujuan untuk mempromosikan naskhah-naskhah manuskrip Melayu yang tersimpan dalam koleksi PNM dan mendedahkan kepada masyarakat kepentingan ilmu yang terakam dalam manuskrip Melayu itu sendiri serta memperlihatkan pengaruh dan asimilasi budaya dan citra. PNM berharap melalui program ini dapat menggalakkan masyarakat menghargai manuskrip Melayu sebagai sumber atau bahan rujukan utama dan sahih baik dalam hal ehwal agama Islam, adat, budaya, sosioekonomi dan politik.\u201c\nPada masa dahulu, terdapat sebuah negeri bernama Santubong yang sekarang menjadi negeri Sarawak. Nama negeri Santubong yang hebat dahulu merupakan tapak arkeologi terbesar di Asia Tenggara dan menjadi sejarah yang besar, tetapi dilupakan oleh masyarakat.\nBerdasarkan tafsiran sejarawan, Wissemen Christie, \u2018Santubong ialah kompleks tapak pelabuhan di delta Sungai Sarawak yang menyaingi tapak dan kekayaan yang terdapat di Lembah Muda dan Merbok di Kedah. Tidak dinafikan, Santubong ialah tinggalan ibu kota pelabuhan negeri Po-ni (Brunei) . Pelabuhan ini jelas diasaskan di rantau ini pada abad kesepuluh kemudian, apabila hanya terdiri daripada satu tapak kediaman, Sungei Jaong, dan terdapat tanah perkuburan yang berkaitan berdekatan Tanjung Kubor.\u2019\nMenurut Datu Dr. Sanib, \u201cSantubong merupakan negeri Melayu kedua tertua di dunia selepas Kedah (500 era sebelum sekarang). Di Sarawak, saya telah membuat kajian dan bukti-buktinya cukup untuk menunjukkan Santubong itu sudah wujud ketika tahun 300 era sebelum sekarang (ESS).\u201d\n\u201cOleh sebab itulah saya ingin mengetengahkan supaya sejarah kita ini lebih lama dan mantap warisannya seperti negara tua yang lain. Dalam sejarah, negara yang lebih tua itu dikatakan lebih bagus dan lebih mantap. Penemuan ini ialah kemajuan dalam bidang penyelidikan dan inilah yang kita mahukan, bukan sahaja maju dalam bidang yang lain,\u201d tambah beliau.\nKata Datu Dr. Sanib lagi, Santubong merupakan sebuah negeri Melayu yang awal dan tua di Malaysia serta di Asia Tenggara, dan sejarah ini telah dimasukkan dalam silibus buku teks Sejarah tahun lima dan juga tingkatan dua sejak dua hingga tiga tahun yang lalu. Beliau berharap agar penemuan ini dapat disenaraikan dalam Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Santubong menjadi pusat pelancongan yang baharu di Sarawak.\n\u201cSaya yakin dengan potensi kawasan ini untuk dimajukan dalam bidang pelancongan domestik,\u201d tambah Datu Dr. Sanib.\nDalam pada itu, beliau turut berharap pihak-pihak berkaitan mencari jalan untuk memberikan pendedahan mengenai pengkajian sejarah kepada mahasiswa. Katanya, \u201cPada zaman saya dahulu, kami memang didedahkan dengan tugasan membaca manuskrip. Usaha Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) melalui wacana ini juga merupakan satu cara untuk memupuk minat para mahasiswa bagi menjalankan penemuan baharu dan mesti ada golongan yang meneruskan kajian ini.\u201d\nYang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah PNM, YBrs. Puan Salasiah Abd Wahab dan Ahli Lembaga Penasihat PNM, Dato\u2019 Nor Hisham A. Dahlan." "Muzium Negara Ketengahkan Mitos dan Legenda Dunia Naga\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\n\nKuala Lumpur \u2013 Bersempena dengan Pameran Dunia Naga: Mitos dan Legenda anjuran Jabatan Muzium Malaysia (JMM) pada 9 Jun hingga 30 Oktober 2022, Muzium Negara menganjurkan program Bicara@MuziumNegara pada pagi ini, bertempat di Dataran Muzium Negara.\nProgram bicara ini menyaksikan Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Wahiza Abdul Wahid dan Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM), Dr. Azharudin Mohamed Dali sebagai pembicara. Sementara itu, Timbalan Pengarah Muzium Negara, Encik Mohd Nasrulamiazam Mohd Nasir bertindak sebagai moderator.\nMenurut Encik Mohd Nasrulamiazam, kepercayaan terhadap naga masih wujud dalam kalangan masyarakat di serata dunia, malah dalam kebudayaan, teks kesusasteraan dan pada masyarakat Melayu sendiri ada kepercayaan terhadap kewujudan naga yang dikupas secara terperinci oleh pembicara dalam program ini.\nMenerusi pembentangan kertas kerja bertajuk \u201cNaga dalam Apresiasi Seni\u201c, Dr. Wahiza mengupas secara mendalam mengenai penggunaan motif dan elemen naga dari sudut kesenian. Kata beliau, \u201cNaga ialah imej yang paling ikonik dalam seni fantasi.\u201c\nNaga mempunyai sejarah yang sangat panjang \u2013 dari era gangsa dan neolitik ke Dinasti Qing hinggalah hari ini.\nBeliau kemudiannya mengupas secara terperinci mengenai sejarah, lukisan dan penggunaan unsur naga dalam dunia Barat, India, China, Jepun, Korea hinggalah ke rantau Nusantara.\nDalam setiap tamadun, naga digambarkan dalam pelbagai bentuk, seperti makhluk yang berkaki, berkepak, bersisik dan lidah bercabang. Naga digambarkan melalui penceritaan dan pengisahan yang berbeza-beza dan motif naga turut digunakan pada lukisan, pakaian, serta diukir pada dinding dan tembikar di hampir seluruh dunia.\nDr. Azharudin dalam pembentangan kertas kerjanya yang bertajuk \u201cMenggarap Tradisi Ular-naga dalam Tradisi Melayu\u201c pula menyebut, tiada sesuatu yang spesifik mengenai naga dalam pemikiran orang Melayu, tetapi yang ada hanyalah ular besar (giant snake).\nUlar naga telah menjadi satu aspek sosiobudaya dan kesenian yang penting bagi sebahagian masyarakat di dunia sejak zaman silam hingga kini.\nUlar-naga juga sering kali dikaitkan dengan kisah\u00a0mistik haiwan bersaiz besar dan dipercayai mampu terbang serta mulutnya mengeluarkan api.\nDr. Azharudin turut menerangkan ular-naga dari sudut tradisi Melayu. Namun begitu, menurut beliau, kisah naga tidak terhenti pada aspek tradisi semata-mata malah pernah menjadi sesuatu yang yang sensasi dan mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat.\nSebagai kesimpulannya, dalam konteks tradisi Melayu, wujud campuran antara mitos, mistik dan sejarah dalam memahami kepercayaan dan kewujudan tradisi ular-naga. Ular-naga wujud dalam pemikiran, kesusasteraan mahupun dalam simbol dan perbuatan.\nYang turut hadir dalam program [email\u00a0protected] ini ialah mahasiswa dari UiTM dan UM serta masyarakat awam.\nMuzium Negara beroperasi pada setiap hari Isnin hingga Ahad, kecuali pada hari Isnin pertama setiap bulan, bermula dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Untuk maklumat lanjut mengenai muzium ini, orang awam bolehlah melayari laman web rasmi Muzium Negara menerusi pautan ini." "Profesor Datuk Dr. Siti Zainon Ismail Lancarkan Buku Monograf Budaya: Sembang Bukan Gebang\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bertempat di Bilik Seri Nilam, Istana Budaya, pada 7 Julai 2022, buku Monograf Budaya: Sembang Bukan Gebang dilancarkan oleh Sasterawan Negara, YBhg. Profesor Datuk Dr. Siti Zainon Ismail. Buku yang memuatkan buah fikiran budayawan, cendekiawan dan penggiat seni budaya tanah air tersebut merupakan karya terbitan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta merupakan kerjasama sulung kedua-dua agensi dalam bidang penerbitan.\nMenerusi ucapan alu-aluan, Ketua Pengarah JKKN, YBrs. Tuan Haji Mesran Mohd Yusop berkata, \u201cKerjasama ini memberikan satu nilai tambah terhadap hasil penerbitan JKKN, apatah lagi penerbitan ini melibatkan bahan-bahan rujukan daripada ahli panel yang hebat dan telah didokumenkan menjadi bahan bertulis untuk rujukan masyarakat khususnya para pencinta dan penggiat yang terlibat dalam industri seni kreatif.\u201d\nSelain itu, Naib Canselor USIM, Profesor Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, penerbitan buku ini selari dengan peranan USIM sebagai pusat pengajian yang menghimpunkan maklumat penting untuk masyarakat. Sinergi USIM dan JKKN memperlihatkan langkah proaktif bagi melengkapkan pelaksanaan program berimpak tinggi juga pada masa yang sama meningkatkan visibiliti USIM kepada masyarakat terutamanya dalam bidang seni budaya.\nProfesor Datuk Dr. Siti Zainon dalam ucapannya menekankan bahawa penghasilan karya-karya budaya menjadi unsur penting dalam pengembangan ilmu kehidupan insan sejagat. Mendokumentasikan perkongsian kepakaran, pengalaman dan pandangan yang bernas merupakan usaha jitu pentadbir budaya dan seharusnya diperluas. Sumbangan ilmu dan pengalaman yang dipraktikkan oleh mereka telah merancakkan industri seni budaya sejak sekian lama dan hingga kini buah fikiran mereka masih diperlukan dalam aspek pembangunan seni budaya tanah air.\nBeliau kemudiannya menyempurnakan Majlis Pelancaran Produk Seni Berbudaya \u2212 \u00a0Monograf Budaya: Sembang Bukan Gebang melalui gimik penandatanganan buku tersebut dan menyaksikan tayangan multimedia hasil kreatif Pusat Kebudayaan USIM.\nPenerbitan buku Monograf Budaya: Sembang Bukan Gebang merupakan projek perintis melalui kerjasama strategik antara JKKN dengan USIM dalam usaha menerbitkan bahan-bahan rujukan seni budaya yang berautoriti bersama-sama institusi pengajian tinggi. Inisiatif penerbitan yang mengangkat program bual bicara maya kepada naskhah penulisan ini meliputi topik-topik perbincangan berkaitan dengan perkembangan semasa seni budaya negara dengan menggabungkan konsep \u20183P\u2019, iaitu pentadbir, pengkaji dan penggiat seni budaya tanah air yang dilihat selari dengan fungsi JKKN dalam usaha melaksanakan pembangunan, pendokumentasian dan penerbitan agar dapat disebar luas kepada segenap lapisan masyarakat.\nBuku Monograf Budaya: Sembang Bukan Gebang mengandungi 16 penulisan artikel dengan melibatkan 17 orang penulis yang terdiri daripada ahli panel program Sembang Bukan Gebang (SBG) dan penulis jemputan yang mempunyai kebitaraan dalam bidang seni budaya yang diceburi. Antara penulis yang terlibat dalam penulisan monograf ini ialah Karyawan Seni USIM, Siso Kopratasa, karyawan teater, Dr. Rosminah Mohd Tahir, Profesor Dr. Supyan Hussin, Zulkifli Ab Rashid, Dr. Kamarulzaman Mohamed Karim atau Mantabla, Profesor Madya Dr. Indirawati Zahid, Ismail Ahmed, Cef Fikree Aznan, Dr. Azizah Abdullah, Profesor Madya Dr. Mohd Azam Sulong atau Azam Dungun, Hazelina Ghazaly, Zaiton Hasan, Wanza Mohamad, Muhammad Hasif Idris, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Ramlee Wahab dan Ezlina Alias.\nPenerbitan Monograf Budaya: Sembang Bukan Gebang dihasilkan daripada program bual bicara SBG yang telah diadakan sebanyak dua musim bermula pada 20 Jun hingga 28 November 2021. Sejumlah 15 episod diterbitkan dengan membicarakan pelbagai topik, iaitu lagu puisi, teater Malaysia, busana Melayu, syair Melayu, muzik tradisional, masakan, terapi seni, pemuzik tradisional, tarian tradisi, Hang Tuah simbolisme kepahlawan Melayu, filem Malaysia, intensiti syiar Islam dan masa hadapan orang seni, manakala satu episod diambil daripada program bual bicara Borak Rakyat yang membincangkan tajuk \u201cSurvival Orang Seni\u201d. Kedua-dua program ini dilaksanakan dalam tempoh pandemik COVID-19, bertujuan untuk mendekati tokoh-tokoh, penggiat, pengamal dan pentadbir serta mereka yang pakar dalam ilmu seni budaya secara terbuka sebagai suntikan semangat kepada generasi muda pada zaman yang kian mencabar ini.\nLebih menarik, buku ini merupakan bual bicara maya pertama yang diangkat menjadi naskhah penulisan. Menampilkan kelainan, buku ini juga memuatkan kod QR pada halaman terakhir setiap tajuk penulisan untuk diimbas oleh pembaca yang ingin menyaksikan bual bicara maya Sembang Bukan Gebang yang disiarkan melalui YouTube rasmi Pusat Kebudayaan USIM.\nMajlis pelancaran buku tersebut turut diserikan dengan persembahan oleh penyair unggul tanah air, Roslan Madun dan Kelab Seni Budaya USIM. Yang turut hadir dalam majlis pelancaran buku ini ialah pengurusan universiti, pengurusan kanan JKKN, ahli panel program SBG, dan barisan karyawan serta penggiat seni tanah air." "Pameran Motif dan Reka Corak Tesktil di Muzium Tekstil Negara Kuala Lumpur\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pameran Motif dan Reka Corak Tekstil anjuran Jabatan Muzium Negara (JMM) menerusi Muzium Tekstil Negara (MTN) dengan kerjasama strategik Universitit Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada orang ramai bermula dari 7 Julai hingga 31 Disember 2022.\nPameran yang bertempat di Galeri Saindera ini terbahagi kepada empat segmen mengetengahkan unsur motif yang sangat dominan dalam dunia tekstil Melayu. Pameran ini secara ekslusifnya memperagakan sebanyak 91 koleksi pelbagai kategori milik JMM dan 65 koleksi produk akhir hasil karya dan kreativiti para pelajar UiTM Cawangan Machang, Kelantan. Antara koleksi yang dipamerkan ialah koleksi songket, songket limar, kain tenun, kain pelangi, batik, tekat, hiasan kepala, kelingkan, kasut manik dan telepuk.\nPenganjuran pameran ini sangat bertepatan untuk mengangkat dan memperkenalkan kepelbagaian sumber motif yang menjadi inspirasi dalam penghasilan seni tekstil tempatan serta menyebarluaskan pengetahuan dan pemahaman kepada masyarakat mengenai unsur-unsur motif dalam seni tekstil Melayu, perkembangan idea dan reka corak serta teknik pembuatan bagi penghasilan tekstil.\nPameran Motif dan Reka Corak Tesktil telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato\u2019 Seri Hajah Nancy Haji Shukri pada 7 Julai 2022. Dalam ucapannya, beliau berkata, pameran ini diharap dapat membuka minda masyarakat terutamanya generasi belia untuk mengenali dan memahami kepelbagaian, simbolik dan falsafah pada motif-motif tradisional dalam dunia seni tekstil tempatan yang kita warisi sejak turun-temurun.\nBeliau juga menyeru Keluarga Malaysia untuk sama-sama berganding bahu menyokong penganjuran pameran ini bagi membolehkan muzium menjadi salah satu penyumbang utama kepada usaha penjanaan semula ekonomi negara demi kelangsungan industri pelancongan. Jom sama-sama kita ke Muzium Tekstil Negara!" "Sayembara Nyanyian Lagu Rakyat dan Pidato Menyemarakkan Program DBK KPT-DBP\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2012 Jika pada 2 Jun 2022 yang lalu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Majalah, Jabatan Penerbitan menganjurkan Pertandingan Sahibba bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2022, pada kali ini DBK 2022 disemarakkan dengan Sayembara Nyanyian Lagu Rakyat dan Pidato yang sekali lagi melibatkan penyertaan kakitangan awam KPT dan agensi di bawahnya. Sayembara Nyanyian Lagu Rakyat dan Pidato ini dijalankan di Dewan Jamuan, Aras 1, KPT, bermula pada pukul 9.30 pagi, 14 Julai 2022.\nMenurut Timbalan Setiausaha Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar KPT, YBrs. Dr. Aini Andria Shirin Anuarudin, Sayembara Nyanyian Lagu Rakyat dan Pidato bersempena dengan DBK 2022 ini merupakan program yang julung-julung kali diadakan khasnya di peringkat KPT. Kata beliau, \u201cHal ini ialah permulaan yang amat bagus untuk mencungkil bakat terpendam yang ada dalam kalangan warga KPT.\u201d\nSayembara Nyanyian Lagu Rakyat ini dianjurkan bertujuan untuk mengembangkan dan memperkenalkan lagu rakyat atau dengan erti kata lain, lagu yang membawa ciri rakyat yang rata-ratanya mempunyai maksud yang tersirat dengan keindahan pada susunan bahasanya. Pertandingan ini memperlihatkan kesungguhan tujuh orang peserta yang berentap melalui nyanyian lagu rakyat mengikut gaya dan kreativiti masing-masing.\nMenerusi sayembara tersebut, Encik Aliff Firdaus Abd Rahman dari Bahagian Education Malaysia (BEM), Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) berjaya menjuarai Sayembara Nyanyian Lagu Rakyat melalui alunan merdu Lagu Zaman yang disampaikannya dengan penuh penghayatan.\nSementara itu, Encik Mohd Hanif Khairuddin dari Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) memenangi tempat kedua dengan mempertaruhkan nyanyian lagu Tak Seindah Wajah, manakala Puan Muhamusyarrifa Hashim dari Bahagian Standard Swasta, JPT di tempat ketiga dengan nyanyian lagu Laksamana Raja di Laut.\nSayembara Pidato pula menyaksikan pertarungan hebat dalam kalangan lima orang peserta yang menyampaikan ucapan dengan idea dan hujah yang bernas berdasarkan tema, \u201cBahasa Melayu di Persada Dunia\u201d.\nDalam sayembara tersebut, Encik Muhammad Syazwan Sulaiman dari Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar berjaya memperoleh tempat pertama, manakala Encik Muhammad Jihadullah Othman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di tempat kedua, dan Puan Anis Akmal Shabudin dari Bahagian Biasiswa memperoleh tempat ketiga.\nSetiap pemenang bakal menerima hadiah utama berupa wang tunai dan hadiah iringan daripada DBP dan KPT.\nMenerusi program tersebut, Encik Roslan Madun berkesempatan mendendangkan beberapa buah lagu rakyat bagi menghiburkan para peserta dan tetamu yang hadir. Selain YBrs. Dr. Aini Andria Shirin, turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBrs. Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah, Jabatan Penerbitan, DBP." "Tawaran Menarik Penebusan e-Baucar Tempahan Bilik Penginapan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Keluarga Malaysia berpeluang menebus tawaran e-baucar yang bernilai antara RM50 hingga RM100 menerusi pembelian bilik penginapan hotel secara dalam talian mulai 15 Julai hingga 31 Disember 2022 menerusi Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 (PRE2.0) bagi kluster penginapan.\nMenteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri berkata, pelancaran inisiatif ini dengan kerjasama Tourism Malaysia adalah untuk menarik minat orang ramai khususnya Keluarga Malaysia agar terus membuat tempahan bilik penginapan pada harga diskaun yang istimewa seterusnya merancakkan lagi aktiviti pelancongan domestik.\n\u201cAntara pusat penginapan yang terlibat ialah hotel-hotel di bawah Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Persatuan hotel Bajet dan Bisnes Mamalaysia (MyBHA) dan Rangkaian Hotel Seri Malaysia (HSM),\u201d katanya lagi.\nBeliau berkata, kesemua e-baucar boleh ditebus semasa membuat tempahan bilik hotel menerusi aplikasi Shopee dengan had penebusan sebanyak tiga kali bagi setiap pemilik MyKad bemula dari 15 Julai hingga 31 Disember 2022.\nMelalui pelancaran PRE2.0 Kluster Penginapan ini, dianggarkan seramai 33 830 rakyat Malaysia berpeluang menikmati tawaran e-baucar ini dan diharapkan usaha ini mampu menyemarakkan lagi pelancongan domestik seiring peralihan ke fasa endemik selain merangsang kembali pemulihan industri pelancongan sejaki gus menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara secara keseluruhannya.\nPelancaran PRE2.0 bagi kluster penginapan telah dilancarkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Haji Shukri semalam di Hotel Pavilion, Kuala Lumpur.\nTurut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YBrs. Encik Mohd Zamri Mat Zin, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, YBhg. Dato\u2019 Haji Zainuddin Abdul Wahab dan Pengerusi Tourism Malaysia, Dato\u2019 Seri Ramlan Ibrahim." "Konsert Kolaborasi Tiga Generasi Pemuzik Rock Otai Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Dalam satu wawancara dengannya pada awal Januari lalu, Tam, penyanyi Spider menyatakan impian beliau dan kumpulannya untuk beraksi secara langsung dalam sebuah konsert sendiri.\nSetelah hampir tiga dekad berada dalam industri seni suara tanah air, Spider memiliki enam buah album studio, iaitu Ngam Ho (1999), Aladin (2002), Nazraku (2004), Bintang 12 (2007), Kitasatu (2010) dan Ankabut (2016).\nMenurut Tam atau nama sebenarnya, Rustam Mustafah, tampil dalam konsert sendiri memang idaman semua penyanyi, baik solo mahupun kumpulan. Jadi, katanya, tidak salah jika Spider turut memasang impian serupa.\nBiarpun tidak menjayakan konsert sendiri kerana akan bergabung dengan sebuah kumpulan legenda, dan seorang penyanyi terkenal, tetapi sekurang-kurangnya Spider dapat \u201cmemanaskan badan\u201d sebelum memenuhi impiannya yang sebenar.\nSpider bakal muncul dalam konsert \u201cYOLO Live Sessions: 3 Generasi\u201d, atau \u201cSesi Secara Langsung YOLO: 3 Generasi\u201d pada 27 Ogos 2022 bermula pada 8.00 malam di Zepp Kuala Lumpur, Bukit Bintang.\nKonsert tersebut juga istimewa kerana pemuzik rock handalan tanah air dari tiga generasi yang berbeza disatukan di sebuah pentas. Selain Spider, turut tampil nanti ialah kumpulan XPDC, dan Noh Salleh dari kumpulan Hujan. Mereka dibawakan khas oleh jenama penganjur acara terkenal masa kini, YOLO Malaysia. Dengan kemunculan XPDC, Noh dan Spider, konsert \u201cSesi Secara Langsung YOLO: 3 Generasi\u201d tersebut dijangka menampilkan persembahan bertenaga.\nPada 13 Julai lalu telah berlangsung sidang media konsert berkenaan di Restoran Rebung Dato\u2019 Chef Ismail, Taman Botani Perdana yang turut dihadiri artis tersebut bersama-sama pengasas YOLO Asia, Ib Harun; Penerbit Eksekutif YOLO Malaysia, Haniff Hamzah; dan Penerbit Kreatif YOLO Malaysia, Hamka Mohd. Taufik.\n\u201cSesi Secara Langsung YOLO: 3 Generasi\u201d ialah sebuah pelantar acara yang diwujudkan khusus untuk membantu karyawan muzik kembali beraksi di pentas persembahan ketika dunia dilanda musibah COVID-19. \u201cPelantar tersebut telah dikelolakan oleh YOLO Malaysia dengan membawakan beberapa siri acara dalam talian yang kenali sebagai \u2018Sesi Secara Langsung YOLO\u2019,\u201d kata Ib.\nSebelum ini, ketika negara masih lagi menghadapi wabak pandemik COVID-19, YOLO Malaysia telah berjaya menganjurkan lima buah konsert dengan cemerlang. Setelah memasuki fasa endemik, YOLO Malaysia berasa sudah tiba masanya untuk bintang rock kesayangan tanah air diberikan penghormatan, beraksi di sebuah persembahan secara langsung bertaraf antarabangsa bagi kepuasan peminat.\nTiket-tiket konsert dijual mengikut harga kategori masing-masing, iaitu Kawasan Rock, Berdiri Bebas, Kerusi Kategori A berserta bertemu & berjabat, Kerusi Kategori B, dan Sudut Peribadi Tetamu Kehormat." "Bahasa Itu Jiwa Bangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\n\u00a0\n\u201cGunakanlah bahasa kebangsaan kita\nMarilah amalkan ramai-ramai\nBahasalah menyatukan kita semua\nYakinlah bahasa jiwa bangsa\u201d\n\u00a0\nLirik lagu Bahasa Jiwa Bangsa, ciptaan Tan Sri Dol Ramli ini memberikan pengertian yang cukup besar, mendalam dan seharusnya dijadikan renungan untuk semua rakyat Malaysia.\n\u201cBahasalah menyatukan kita semua\u201d membawa maksud yang jelas bahawa bahasa menjadi jambatan yang menghubungkan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini. Bahasa menjadikan kita bersatu padu, saling menghormati dan memahami apa-apa yang dipunyai oleh bangsa yang lain.\nKita mengenali sesuatu bangsa menerusi bahasanya. Hal ini diakui di serata dunia. Tidak ada bangsa tanpa kewujudan bahasanya. Maka itu, bahasa menjadi identiti terpenting yang dipunyai oleh bangsa dan yang membezakan sesuatu bangsa itu dengan bangsa yang lain di muka bumi ini.\nDaripada bahasa itu, maka lahirlah identiti yang dibentuk daripada bahasa yang tuturkan. Bahasa Jepun dimiliki oleh bangsa Jepun; bahasa Perancis merupakan milik abadi bangsa Perancis; bahasa Indonesia dimiliki oleh bangsa Indonesia, bahasa Thai milik mutlak bangsa Thailand dan begitulah dengan bahasa dan bangsa yang lain.\nDi negara ini, umum mengetahui bahawa bahasa Melayu diangkat\u00a0 sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. Dalam hal ini, bahasa amat besar peranannya dalam membentuk jati diri, semangat kekitaan, integrasi dan maruah penuturnya. Lebih besar daripada itu, bahasa merupakan cerminan kesopanan budi dan adab sesuatu bangsa.\nLihat sahaja masyarakat yang maju dari segi peradabannya mempunyai sistem politik, pemerintahan, ekonomi, pentadbiran, perundangan, pertahanan, pendidikan, ilmu sains dan teknologi, bahasa dan persuratan yang tinggi. Perancis dan Jepun misalnya, negara yang mendominasi ilmu sains dan teknologi telah membuktikan kepada dunia bahawa dengan mengekalkan bahasa masing-masing dalam segenap ilmu dan kemajuan telah mengangkat jati diri mereka seiring dengan kemajuan yang ada.\nKeadaan ini sudah tentunya berbeza daripada nasib bahasa Melayu di negara ini. Bahasa Melayu bukan sahaja berhadapan dengan cabaran dalam ilmu dan kemajuan sains dan teknologi, bahkan yang paling penting, bahasa Melayu turut dicabar dalam kalangan penuturnya, iaitu rakyat Malaysia. Kemodenan yang dikecap tidak seiring dengan perkembangan bahasa Melayu. Bahasa Melayu dianggap oleh sesetengah pihak hanyalah bahasa yang mempunyai had untuk mendapat sijil lulus peperiksaan semata-mata.\nDi luar daripada konteks itu, bahasa asing sering menjadi bahasa utama. Alasan yang sering diluahkan ialah bahasa Melayu bukan bahasa sains dan teknologi. Bahasa Melayu bukan bahasa ekonomi. Oleh sebab momokan itu, maka nasib bahasa Melayu umpama melukut di tepi gantang. Hanya mereka yang bertutur dalam bahasa asing dianggap hebat dan maju. Hanya mereka yang mahir dalam bahasa asing kononnya akan menguasai sains dan teknologi. Sebagai akibatnya, banyak institusi pengajian tinggi di negara ini yang mengutamakan bahasa asing berbanding dengan bahasa Melayu. Hal ini bukanlah isu baharu tetapi sudah berlanjutan sejak beberapa dekad belakangan ini.\nPersoalannya, benarkah bahasa Melayu tidak mampu bersaing seiring dengan kemajuan yang ada?\nPada hakikatnya, bahasa Melayu merupakan satu daripada bahasa utama di dunia. Dianggarkan hingga kini terdapat lebih daripada 300 juta orang penutur bahasa Melayu di seluruh dunia. Maka itu, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk penutur bahasa ini menguasai kemajuan yang ada jika semua penuturnya mempunyai tekad yang tinggi terhadap pemerkasaan bahasa ini.\nLihat sahaja kejayaan negara China yang muncul sebagai negara kuasa ekonomi di dunia yang tidak mengetepikan bahasa rasminya, iaitu bahasa Mandarin. Hasilnya, negara ini bukan sahaja digeruni ekonominya malah bahasanya. Di Paris, kebanyakan kedai menawarkan pekerjaan kepada mereka yang mahir dalam berbahasa Mandarin. Hal ini dikatakan demikian kerana tarikan ekonomi yang tinggi dalam kalangan pelancong dari China yang datang ke negara itu, malah kebanyakan lapangan terbang di dunia juga menggunakan bahasa Mandarin sebagai satu daripada bahasa pengumuman ketibaan dan pelepasan pesawat.\nPersoalannya, apakah pula nasib bahasa Melayu? Untuk berjaya seperti Jepun, Perancis dan China, kita perlu bermula dari garisan pertama, iaitu memperkasakan bahasa dalam jiwa penuturnya. Bahasa Melayu perlu diperkukuh dan menjadi jati diri yang paling ampuh untuk kita berjaya. Kita jangan berganjak walau seinci pun untuk keluar daripada bahasa kebangsaan kita. Kita perlu yakin bahawa bahasa ini merentas ekonomi, sains dan teknologi. Kita perlu bermula dengan memajukan bahasa Melayu dalam negara kita sendiri sebelum mengangkatnya ke persada antarabangsa. Tidak salah menanam cita-cita untuk menjadikan bahasa ini bahasa global, namun realitinya perlu ada dalam diri rakyat di negara ini.\nDewan Bahasa dan Pustaka sudah 65 tahun melaksanakan tanggungjawabnya dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Kini giliran kita, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira darjat dan pangkat, keturunan dan agama untuk menggalas tugas meletakkan bahasa Melayu pada kedudukan yang sepatutnya.\nPercayalah, apabila kita memiliki jati diri dan semangat kebangsaan yang kuat, kita tidak akan ragu-ragu dengan apa-apa yang kita miliki. Maka itu, bahasa Melayu itu perlu ada dalam jiwa kita sebagai bangsa Malaysia, umpama bait-bait lagu di atas, yakinlah bahasa jiwa bangsa." "Di Sebalik Pantang Larang Orang Lama\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSetiap kaum yang terdapat di dunia ini mempunyai pantang larang tersendiri. Pantang larang ini merupakan didikan secara tidak langsung dalam kalangan masyarakat.\nPantang larang ini lazimnya mengikut kaum. Ada juga berdasarkan tempat. Namun begitu, pantang larang ini ada kalanya sukar untuk dimengertikan tujuannya. Apa-apa yang pasti, pentang-larang tersebut memberikan pengajaran atau mendidik masyarakat secara tidak langsung (Wan Nan, 2001).\nMenurut Mahmud Ahmad (1961), pantang itu merupakan sesuatu perbuatan yang tidak boleh buat, dimakan, disebut atau pelbagai lagi yang tidak dibenarkan. Seandainya dilakukan juga, maka seseorang itu akan mendapat padah. Larang pula ialah sesuatu tegahan yang tidak elok pada perkiraan adat. Namun demikian, perbuatan melanggar larang ini tidaklah terlalu berbahaya.\nDi sini penulis ingin kemukakan beberapa pantang larang yang pernah menjadi pegangan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu. Antaranya, ada dalam kalangan masyarakat dahulu meminta kanak-kanak yang ingin menjamu selera memakai songkok. Sekiranya tidak memakai songkok akan kematian isteri bila besar nanti. Ini ancaman kepada kanak-kanak lelaki sahaja. Orang dewasa tidak terpakai suruhan ini. Akan tetapi, pantang larang ini sebenarnya bukanlah kerana bimbang kematian isteri tetapi kerana ingin mengelakkan rambut gugur atau apa-apa yang ada di atas kepala masuk ke dalam makanan semasa makan.\nSelain itu, kanak-kanak terutamanya disuruh membasuh kaki sebelum tidur. Kononnya jika tidak membasuh kaki apabila hendak tidur, akan diganggu oleh syaitan dan boleh juga mengalami mimpi yang buruk. Hal ini sebenarnya bukanlah kerana bimbang diganggu syaitan atau mimpi ngeri. Pantang larang ini merupakan disiplin supaya anak-anak menjaga kebersihan kaki. Dalam Islam sendiri dianjurkan untuk berwuduk sebelum seseorang itu tidur. Selain kebersihan kaki, hal ini juga boleh dapat menghindarkan tempat tidur daripada tercemar dek kekotoran.\nBukan itu sahaja, kanak-kanak dan remaja tidak dibenarkan berjalan pada waktu senja kerana dibimbangi akan disembunyikan oleh hantu. Hal ini dikatakan demikian kerana pada waktu ini, hantu dan syaitan dikatakan banyak berkeliaran. Sebenarnya, larangan ini merupakan satu didikan bahawa pada waktu ini seharusnya semua ahli keluarga berada di rumah, membersihkan badan, mandi dan menunaikan solat maghrib malah dapat makan malam bersama-sama ahli keluarga. Hal ini dapat mengeratkan lagi hubungan sesama keluarga kerana dapat berehat bersama-sama.\nKanak-kanak juga dilarang duduk di atas bantal kerana dikatakan akan tumbuh\u00a0 bisul. Hal yang sebenarnya adalah supaya bantal tidak kotor atau rosak sekiranya bermain atau duduk di atasnya. Oleh sebab itu, di sebahagian rumah orang Melayu, bantal diletakkan di tempat yang tinggi supaya tidak dapat diambil oleh kanak-kanak.\nAntara larangan lain, anak dara ditegah bernyanyi di dapur, dibimbangi akan memiliki suami tua. Larangan ini sebenarnya adalah untuk mendidik anak gadis supaya sentiasa berwaspada ketika melakukan kerja dapur kerana dibimbangi makanan yang sedang dimasak akan hangit atau rosak.\nSeseorang suami pula ditegah daripada menyembelih binatang atau mencederakannya ketika isteri sedang hamil kerana dibimbangi mendapat anak yang menjadi cacat anggota badan. Kecacatan ini berdasarkan bahagian anggota badan yang dicederakan. Namun begitu, larangan ini tidak diketahui sebab musababnya walaupun masih ada lagi dalam kalangan masyarakat yang mempercayainya.\nOrang dahulu juga tidak membenarkan anak gadis makan makanan dari periuk kerana akan melahirkan anak yang kurang cerdik kelak. Perkara yang sebenarnya adalah kerana tidak mahu gadis tersebut kelihatan seperti orang pemalas dan pengotor. Lagi pula, nasi di dalam periuk itu akan dikongsi dengan orang lain pula.\nSeterusnya ialah larangan bersiul di kampung sama ada lelaki atau perempuan. Perbuatan ini merupakan\u00a0 sesuatu yang aib dan tidak digemari oleh orang tua. Perbuatan ini seolah-olah menunjukkan seseorang itu bersombong atau mengada-ngada, boleh juga memberikan isyarat kepada pasangan yang bercinta atau dilakukan untuk memikat anak dara. Sekiranya dilakukan oleh orang perempuan, hal yang demikian dianggap gatal dan ingin bersuami.\nOrang tua dahulu juga tidak membenarkan anak-anak tidur di bawah alang kerana dikatakan akan menyebabkan dilangkah atau ditindih oleh hantu atau syaitan. Larangan ini merupakan sifat berhati-hati kerana jika tidur di bawah alang, dibimbangi akan ditimpa alang sekiranya jatuh. Mungkin pada waktu itu kebanyakannya hanya mampu mendirikan pondok kecil untuk didiami.\nSeseorang anak gadis tidak dibenarkan menyapu sampah secara sambil lewa atau tidak bersih. Natijahnya nanti akan dapat suami berjambang dan bermisai tebal. Hal ini bertujuan supaya anak gadis lebih berdisiplin semasa menjalankan tugas rumah tangga. Boleh juga sebagai latihan dan persediaan untuk si gadis melakukan pekerjaan dengan betul. Apabila berumah tangga nanti, tidaklah mencemarkan nama baik keluarga, dikatakan anak perempuan tidak pernah diajar mengemas rumah.\nBanyaklah lagi sekiranya ingin dikongsikan di sini. Pantang larang ini merupakan sebahagian daripada khazanah budaya bangsa yang tersimpan rapi.\nSecara umumnya, pantang larang ini satu bentuk disiplin yang cuba diterapkan oleh golongan yang lebih tua dalam sesuatu keluarga atau masyarakat. Namun begitu, pantang larang yang bertentangan dengan Islam sewajarnya ditinggalkan, lebih-lebih lagi jika melibatkan persoalan akidah. Sesuatu yang bertentangan dengan Islam tidak patut dipertahankan. Sikap itu menunjukkan kejahilan dan kekeliruan penganutnya terhadap ajaran Islam (Ahmad Zahiruddin, 2021)." "Perlis Wajar Dipromosikan sebagai Destinasi Pelancongan di Pasaran Jepun\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKangar \u2013 \u201cPerlis wajar cuba mempromosikan pengalaman mempelajari budaya, cara hidup masyarakat setempat, kepelbagaian makanan serta alam semula jadi untuk dipromosikan kepada pelancong dari Jepun yang datang ke utara Malaysia selepas ini. Walau bagaimanapun, aspek keselamatan serta kebersihan mestilah sentiasa dititikberatkan kerana difahamkan merupakan antara faktor utama pelancong Jepun membuat keputusan untuk memilih mana-mana destinasi pelancongan yang akan mereka kunjungi.\u201c\nDemikian saranan Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam titah baginda selepas penyerahan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Masjid As-Salaam Okachimachi di Taito, Taito-ku, Tokyo, bersempena dengan keberangkatan baginda ke Jepun, semalam.\nBaginda yang juga merangkap Tuanku Yang Dipertua MAIPs memberikan kesempatan kepada Timbalan Pengarah Pejabat Tourism Malaysia Tokyo, Ahmad Junaidy Yahaya yang juga seorang anak jati kelahiran Kampung Jejawi, Perlis bagi menyampaikan sumbangan MAIPs tersebut kepada Pegawai Pentadbir As-Salaam Foundation, Marjuk San, yang menerima bagi pihak masjid berkenaan.\nMenurut Ahmad Junaidy, pihak Pejabat Tourism Malaysia di Tokyo sedang mempergiat usaha mempromosikan Malaysia di pasaran Jepun dengan mempelbagaikan aktiviti dan pengalaman yang boleh dinikmati oleh pelancong mereka apabila berkunjung ke Malaysia.\n\u201cLangkah pemulihan pasaran sedang giat dilaksanakan bagi mengembalikan keyakinan pasaran Jepun untuk kembali memilih Malaysia sebagai destinasi percutian pilihan utama,\u201c tambah beliau.\nMenurut Ahmad Junaidy lagi, di samping Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Langkawi dan Sabah yang menjadi destinasi pilihan utama pelancong yang bercuti di Malaysia sebelum ini, Perlis boleh turut dipromosikan khususnya kepada pelancong Jepun yang berhasrat datang ke Pulau Pinang dan Langkawi bagi menyahut titah saranan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis.\nSebagai rekod, Jepun merupakan antara pasaran pelancong utama Malaysia. Pada tahun 2019, pasaran Jepun menyumbang sejumlah 424 694 orang pelancong ke Malaysia dengan jumlah pendapatan sebanyak RM2.2 juta, iaitu peningkatan sebanyak 7.6 peratus bagi jumlah ketibaan pelancong dan 36.2 peratus bagi jumlah pendapatan pelancong berbanding pada tahun 2018. Walau bagaimanapun, pandemik COVID-19 yang melanda dunia selepas itu telah memberikan kesan yang besar pada pasaran Jepun di Malaysia.\nYang turut berangkat bersama-sama DYTM Raja Muda Perlis ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda berdua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail." "Tourism Malaysia Sasar Jualan Sekurang-kurangnya 500 Pakej Durian Tourism\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nGeorgetown \u2013 Tourism Malaysia melancarkan promosi diskaun 10 peratus bagi Pakej Durian Tourism dalam usaha memeriahkan dan mempromosikan musim durian di negeri-negeri wilayah utara.\n\nPakej Durian Tourism ini menggabungkan pelbagai elemen pelancongan seperti elemen ekopelancongan, agropelancongan, arkeopelancongan dan pengembaraan lasak. Tawaran ini melibatkan pakej dua hari satu malam (2H1M) dengan bayaran bermula RM290 seorang dan pakej tiga hari dua malam (3H2M) dengan bayaran bermula RM388 seorang, dengan tempahan minimum empat orang bagi setiap pakej.\nKempen ini berlangsung dari 1 Julai hingga 31 Ogos 2022 dan merupakan kerjasama antara Tourism Malaysia dengan lima pengendali pelancongan, iaitu Kurma Travel & Tours Sdn. Bhd., Adventure360 Tours Sdn. Bhd., Time Free Vacation Sdn. Bhd., M.Maha-Izah Transport & Tours Sdn. Bhd dan Asia Gateway Tours.\nMajlis pelancaran kempen tersebut telah berlangsung pada 15 Julai 2022 di Hin Bus Depot, Pulau Pinang dan dirasmikan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, YBhg. Dato\u2019 Haji Zainuddin Abdul Wahab.\nDalam ucapan pelancarannya, YBhg. Dato\u2019 Haji Zainuddin Abdul Wahab berkata, sekurang-kurangnya 500 pakej disasarkan terjual sepanjang tempoh promosi berlangsung dengan jangkaan pulangan sebanyak RM100 ribu.\n\u201cKita berharap promosi kempen Pakej Durian Tourism ini dapat diperluas dengan penglibatan lebih banyak pengendali pelancongan bukan sahaja di negeri-negeri di wilayah utara tetapi juga di seluruh Malaysia,\u201d katanya.\nTambah beliau lagi, kerajaan melalui Tourism Malaysia sentiasa bersedia untuk membantu mempromosikan pakej-pakej seumpama ini yang memberikan manfaat secara langsung kepada para pelancong serta pemain industri pelancongan terlibat.\nOrang ramai terutamanya penggemar durian yang ingin mengetahui maklumat lanjut berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan boleh diperoleh menerusi laman web Tourism Malaysia di http://www.malaysia.travel." "Kumpulan 22BAND Lancarkan Lagu Tunggal Pertama, Hidup\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Sebuah kumpulan muzik baharu dengan konsep muziknya pop alternatif terkini yang berasal dari Lembah Kelang ini dikhabarkan banyak mendapat maklum balas, dan komen yang baik dengan susunan muzik pop yang terkini. Kumpulan yang dimaksudkan ialah 22BAND. Difahamkan nama 22BAND dipilih kerana pada asalnya, kumpulan ini hanya sekadar projek kumpulan. Namun begitu, oleh sebab keserasian bersama dalam misi perjuangan muzik, secara rasminya pada tahun 2022, anggota kumpulan memilih 22BAND (twentytwoband) sebagai nama rasmi untuk mengingati COVID-19 yang melanda seluruh negara.\nSebagai memulakan langkah, 22BAND mempertaruh lagu tunggal pertamanya berjudul Hidup yang ada citrasa tersendiri. Kumpulan ini dianggotai Eqmal (vokalis), Bun (gitar), Apis (gitar), Reen (bass), dan Ijan (dram). Hidup merupakan hasil ciptaan bersama ahli 22BAND, manakala lirik tulisan Apis sendiri.\nHidup membawa kisah seseorang yang melalui kehidupan harian yang sukar, terutama masyarakat semasa fasa endemik sekarang. Pertemuan 22BAND dengan sebuah syarikat label menjadi asbab Hidup diedarkan secara jualan digital, dan penjagaan hak ciptanya di bawah Luncai Emas Sdn. Bhd.\n\u201cSejujurnya, kami tidak pernah menyangka bahawa hasrat untuk bertapak dalam industri muzik tercapai, walaupun dalam keadaan yang berbeza selama beberapa tahun akibat COVID-19, dengan harapan hasil karya kami diterima ramai,\u201d ujar 22BAND.\nMengenai rancangan seterusnya, 22BAND memberitahu mereka menghasilkan lebih banyak lagu tunggal baharu masa kini mengikut peredaran zaman, serta trend lagu semasa yang disukai pendengar setiap lapisan masyarakat.\nKini, audio rasmi Hidup oleh 22BAND telah berada di semua saluran digital seperti JOOX, Deezer, Spotify, Itunes, dan Apple Music, sementara video lirik boleh ditonton oleh orang ramai bermula 24 Jun 2022 (jam 5 petang) lalu di saluran YouTube Luncai Emas.\n\u201cDiharap dengan lagu tunggal Hidup ini bersama-sama sokongan semua, kami mampu melebarkan sayap lebih jauh lagi,\u201d kata 22BAND." "Festival Antarabangsa Silat Warisan Dunia Mengangkat Martabat Silat di Persada Dunia\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Majlis perasmian Festival Antarabangsa Silat Warisan Dunia yang berlangsung pada 21 hingga 24 Julai 2022 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur menjadi penanda aras dalam usaha memartabatkan seni silat sebagai warisan dunia dan wasilah mengangkat serta mempromosi bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa.\nFestival ini dianjurkan oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), DBP dan Silat Seni Asia serta dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd. Ali Mohd. Rustam selaku Penaung Seumur Hidup Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA).\nTerdapat pelbagai program yang diadakan sepanjang festival ini berlangsung. Antaranya termasuklah pertandingan silat seni terbuka, bengkel pembuatan tanjak, gendang silat dan senjata tradisional, Seminar Antarabangsa Silat Warisan Dunia, pameran silat dan gerai-gerai jualan.\nMenurut Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dalam ucapan alu-aluannya, penganjuran festival ini menyokong kepada gagasan dan hasrat Yang Amat Berhormat Dato\u2019 Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia untuk mengangkat bahasa Melayu menjadi bahasa yang lebih ampuh dan berkesan sebagai wasilah tamadun negara dan pada masa yang sama melonjakkannya sebagai bahasa serantau dan bahasa antarabangsa yang akan digemilangkan semula.\nSilat merupakan satu cabang ilmu mempertahankan diri merangkumi seni bela diri yang diamalkan orang Melayu sejak dari zaman dahulu lagi seperti yang terkandung dalam pelbagai teks Melayu klasik, iaitu dalam karya agung Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Patani dan beberapa karya agung lain. Selain itu, silat juga mempunyai falsafah tersendiri dengan beberapa unsur yang melengkapkan silat sebagai satu warisan negara yang harus dipelihara dan dilindungi.\nProfesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan turut berkata, dalam silat terkandung kearifan orang Melayu seperti pada alunan muzik silat, gerak seni atau tari silat, teknik bela diri, senjata, busana dan sebagainya. Kearifan dan kebijaksanaan orang Melayu dalam silat diturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain agar silat terus kekal dalam jiwa orang Melayu dan disampaikan secara lisan. Justeru, menjadi suatu kerugian apabila warisan khazanah negara yang berharga ini kurang didokumentasikan dengan baik kerana segala ilmu tentang silat ini milik, identiti serta jati diri masyarakat Melayu.\n\u201cFestival ini menghimpunkan para pemikir dan penggerak silat di peringkat antarabangsa untuk memberikan buah fikiran dan sudut pandang mereka melalui pengalaman dan pembelajaran bagi menyebarluaskan seni dan budaya silat ke seluruh dunia. Malaysia juga berjaya menghimpunkan beberapa nama besar meliputi tiga buah benua untuk menyertai pembentangan dalam seminar antarabangsa ini,\u201d kata Timbalan Presiden PESAKA, Dato\u2019 Haji Md Sohaimi Mohamed Shah dalam ucapan sambutannya.\nTambah beliau lagi, PESAKA juga menganjurkan Pertandingan Silat Seni Asli yang bertujuan untuk mengangkat seni, tradisi dan ilmu persilatan dalam bentuk persaingan kompetitif serta menggembleng usaha untuk menjadikan kategori silat seni asli popular dan setanding dengan silat olahraga.\nManakala menurut Presiden PESAKA, Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin dalam ucaptamanya, rangkaian dan penerimaan yang baik oleh negara antarabangsa terhadap silat merupakan satu nilai tambah kepada Malaysia untuk mendokumentasikan khazanah negara dalam bahasa Melayu. Silat secara langsung dapat membantu mengembangkan bahasa Melayu melalui penggunaan dan pemilihan kata untuk mengungkapkan makna dalam silat. Pelbagai unsur dalam silat boleh dikupas dan diterbitkan untuk rujukan peminat silat atau ahli silat di rantau Asia Tenggara dan peringkat antarabangsa.\nTurut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran dan Pengarah Festival Antarabangsa Silat Warisan Dunia, Encik Ahmad Fahmi Ahmad A. Domil." "Kebitaraan Manuskrip Alam Melayu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 BERNAMA Radio yang bersiaran secara langsung pada jam 8.30 pagi melalui wawancara bagi slot Jendela Fikir menjemput Ts. Dr. Ros Mahwati Ahmad Zakaria, Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk berkongsi tentang \u201cKebitaraan Manuskrip Alam Melayu\u201c.\nDalam wawancara tersebut, Ts. Dr. Ros Mahwati Ahmad Zakaria menerangkan bahawa sejarah manuskrip Melayu merupakan ilmu watan yang berkait dengan alam Melayu serta dihasilkan oleh orang yang tinggal di alam Melayu yang merekod dan mendokumentasikan ilmu untuk simpanan peribadi dan sejarah yang berharga bagi generasi akan datang.\nManakala manuskrip pula ditakrifkan sebagai karya dalam tulisan Jawi yang bertulis tangan dan telah dihasilkan dalam lingkungan awal kurun ke-16 sehingga kurun ke-20. Namun begitu, tulisan tersebut telah wujud lebih awal sejak kurun ke-16 dan dapat dibuktikan melalui peninggalan artifak seperti batu bersurat di Terengganu yang mengesahkan bahawa agama Islam telah muncul di negeri tersebut sebelum tahun 1326 lagi.\nMenurut Ts. Dr. Ros Mahwati Ahmad Zakaria, bagi definisi Manuskrip Alam Melayu berdasarkan Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), hasil tulisan Jawi tersebut mestilah berkaitan secara langsung dengan alam dan tamadun Melayu termasuklah kehidupan masyarakat di alam Melayu. Pada zaman tersebut, maklumat dalam tulisan Jawi di atas batu bersurat merupakan undang-undang kepada masyarakat yang secara tidak langsung menunjukkan orang Melayu sudah pun pandai membaca.\nSelain itu, sewaktu ketibaan Ibnu Battuta di Tanah Melayu, masyarakat Melayu telah pun mempunyai satu sistem pengajaran yang menunjukkan bahawa masyarakat sudah mula menulis dan menghasilkan penulisan-penulisan bermula pada zaman tersebut. Bahan-bahan yang digunakan dalam menghasilkan manuskrip pada zaman dahulu sesuai dengan takrifan permukaan yang mempunyai tulisan tangan adalah permukaan untuk ditulis, peralatan untuk menulis dan dakwat yang akan meninggalkan warna dan tulisan pada kertas.\nPerkembangan manuskrip Melayu boleh dilihat dengan menjejaki cendekiawan-cendekiawan Melayu seperti Sunan Kalijaga, Syeikh Siti Jenar, Hamzah Fansuri dan Abdul Rauf Al-Singkili. Penulisan dan sarjana-sarjana ini tidak boleh dipisahkan kerana sumbangan mereka yang tidak ternilai dan penulisan inilah yang dikenali sebagai Manuskrip Alam Melayu yang ditinggalkan untuk generasi ini dan yang akan datang. Tambahan lagi, penulisan daripada para cendekiawan Islam ini terbahagi kepada dua, iaitu berbahasa Arab dan berbahasa daerah wilayah Alam Melayu dan tidak semestinya bergantung kepada bahasa Melayu yang diguna pakai seperti zaman kini atau bahasa Melayu umum. Bahasa Melayu pada zaman itu mempunyai kepelbagaian seperti bahasa Melayu Minang, bahasa Melayu Jawa, bahasa Melayu Sunda dan bahasa Melayu Bugis.\nTs. Dr. Ros Mahwati Ahmad Zakaria turut bersetuju tentang manuskrip Melayu yang dikatakan hanya untuk orang-orang yang tertentu, dipinggirkan dan tidak mendapat tempat dalam kalangan generasi baharu kerana manuskrip sering menjadi simpanan dan pameran di muzium, arkib atau pusat penyelidikan serta kesukaran orang awam untuk mengakses, melihat dan menelitinya. Di samping itu, beliau menerangkan tentang kepentingan melindungi manuskrip Melayu kerana manuskrip-manuskrip tersebut tergolong dalam kategori tinggalan artifak dan kebanyakannya berusia lebih daripada seratus tahun.\nCara dan proses penjagaan manuskrip adalah sangat penting kerana kebiasaannya manuskrip dibuat daripada bahan kertas dan bahan organik serta mudah rosak. Oleh sebab itu, bidang manuskrip Melayu hanya sinonim dengan ahli akademik yang banyak menghabiskan masa dengan tinggalan-tinggalan penulisan ini. Demi mengelakkan kepupusan ilmu yang sangat berharga ini, kerjasama semua pihak amatlah diperlukan.\n\u201cSebagai contoh, bagi mereka yang mahir tulisan Jawi, manuskrip tersebut bolehlah dirumikan agar ilmu yang ditulis dapat dilestarikan dan disebarkan dengan lebih luas. Penyimpan-penyimpan manuskrip asal pula seperti PNM, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Muzium Negara dan beberapa universiti awam yang telah membuka koleksi manuskrip tersendiri boleh mengetengahkan bahan-bahan yang berkaitan manuskrip ini dalam pelbagai kaedah supaya mudah difahami. Indonesia boleh dijadikan sebagai contoh negara yang memperkenalkan manuskrip sebagai objek warisan dan tinggalan sejarah yang membanggakan serta didedahkan kepada generasi muda dan masyarakat bermula dari sekolah rendah lagi,\u201c jelas Ts. Dr. Ros Mahwati Ahmad Zakaria mengakhiri bicara." "MOTAC Semarakkan Kembali \u201cKempen Budi Bahasa Budaya Kita\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kembali menyemarakkan \u201cKempen Budi Bahasa Budaya Kita\u201d selaras dengan matlamat utama Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) yang bertunjangkan \u201cNegara Maju, Rakyat Berbudaya\u201d. Majlis pelancaran \u201cKempen Semarak Budi Bahasa Budaya Kita\u201d yang berlangsung pada 21 Julai 2022 di Kompleks Kraftangan Malaysia, Kuala Lumpur dirasmikan oleh Menteri MOTAC, Yang Berhormat (YB) Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Haji Shukri.\n\u201cKempen Budi Bahasa Budaya Kita\u201d buat pertama kalinya dilancarkan pada tahun 2005 yang seterusnya berjaya menggerakkan kempen tersebut sehingga ke peringkat akar umbi dengan matlamat pada ketika itu adalah untuk menyuburkan penghayatan dan pengamalan budaya nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia selain menjadi asas ke arah pembentukan jati diri masyarakat Malaysia yang jitu secara keseluruhan.\nSebanyak 28 program yang berorientasikan amalan budaya nilai tinggi dirancang dan dilaksanakan oleh pelbagai jabatan dan agensi di bawah MOTAC melalui \u201cKempen Semarak Budi Bahasa Budaya Kita\u201d. Daripada 28 program tersebut, sebahagiannya telah dilaksanakan dan selebihnya bakal dilaksanakan sepanjang tahun ini sebagai usaha bagi menyemarakkan kempen ini.\nPelancaran \u201cKempen Semarak Budi Bahasa Budaya Kita\u201d ini diharapkan dapat merangsang semula tahap penghayatan dan penerapan amalan budi bahasa dalam kalangan rakyat Malaysia sama ada dalam bentuk komunikasi, pengucapan, pertuturan, panggilan atau dalam perlakuan serta pergaulan. Kesemua elemen tersebut harus dipraktikkan dalam semua institusi yang digariskan dalam DAKEN, iaitu institusi kekeluargaan, pendidikan, perkhidmatan mahupun kemasyarakatan.\nMenurut YB Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Haji Shukri, pelancaran semarak kempen budi bahasa ini akan dapat membangkitkan semula semangat anak bangsa terhadap penghayatan dan pengamalan nilai-nilai murni dalam kalangan seluruh Keluarga Malaysia. Semoga usaha ini dapat meningkatkan lagi semangat untuk kita berbudi bahasa tidak kira walau di mana-mana sahaja kita berada." "Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang 4.0 Meraikan Kekayaan Warisan Budaya dan Keindahan Alam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPermatang Pauh \u2013 Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang kembali dianjurkan pada tahun ini setelah pertama kali berlangsung pada tahun 2018. Pesta ini bakal menjadi antara tarikan baharu pelancongan negara kerana keunikan yang ditampilkannya selain berjaya menarik kehadiran ribuan pengunjung sama ada dari dalam mahupun luar negara.\nPesta yang bertemakan \u201cPadiku, Warisanku dan Rezekiku\u201d berlangsung selama tiga hari, bermula dari 22 hingga 24 Julai 2022 dan bertempat di Kampung Terus, Penanti, Permatang Pauh, Pulau Pinang.\nPesta ini menyajikan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan \u201cScavenger Hunt\u201d, Larian \u201cPenanti River Run\u201d, bazar makanan dan produk, pelbagai jenis permainan tradisional, pertandingan menangkap ikan di tengah bendang, menunggang kereta lembu dan kuda serta pelbagai aktiviti menarik yang lain.\nPihak penganjur memilih Kampung Terus sebagai tapak pesta ini kerana lokasi kampung tersebut yang merupakan tapak warisan padi tertua di Seberang Perai sejak tahun 1800 berdasarkan sejarah.\nPertandingan Arca Jerami Padi gergasi juga buat julung kalinya diadakan dalam pesta kali ini dengan penyertaan pasukan-pasukan undangan dari seluruh negara bagi merangkul anugerah berprestij, iaitu Anugerah Ketua Menteri Pulau Pinang.\nPengunjung yang hadir dapat menghayati keindahan dan keunikan 17 arca unik hasil seni kreatif anak tempatan dengan menggunakan jerami padi kering hasil buangan selepas musim menuai yang dipamerkan di sekitar tapak pesta tersebut. Penghasilan arca jerami gergasi tersebut mampu menjadi produk pelancongan kampung dan memperkembangkan kegiatan ekonomi masyarakat setempat selain boleh mengurangkan pencemaran udara." "Emansipasi Wanita dalam Teater \u201cDara dan Mak Cik Bawang\u201d\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMelaka \u2013 Bertepatan dengan sambutan Hari Melaka Bandaraya Warisan Dunia, rangkaian kerjasama agensi kerajaan bersama-sama organisasi bukan kerajaan (NGO) berpadu tenaga dalam menghasilkan pementasan teater \u201cDara dan Makcik Bawang\u201d. Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Gagasan Anak Seni (GAS) dan CTRA Production berjaya membawa karya hebat Dr. Rosminah Mohd. Tahir yang bertindak sebagai pengarah teater dan penulis skrip ke pentas Panggung Sari, JKKN Melaka. Penulis skrip bijak mengadun elemen sindiran bagi memberikan kesedaran kepada penonton tentang peri pentingnya pengurusan kewangan dalam keadaan dunia yang berdepan dengan kadar inflasi yang semakin memburuk.\nTeater \u201cDara dan Makcik Bawang\u201d mengisahkan Mak cik Aminah yang merupakan pengusaha produk bawang di Kampung Sukahati berusaha membawa perniagaannya ke peringkat antarabangsa seiring dengan kemajuan teknologi masa ini. Usahanya dibantu oleh empat dara, iaitu Peot, Senah, Lalita dan Teh serta diteladani oleh Cikgu Siti, guru sastera dan bahasa yang sayang akan kampung dan warisan bangsanya. Mereka merancang membawa perniagaan tersebut ke peringkat global dengan menubuhkan Kelab Warisan. Keempat-empat dara sangat ikhlas dan jujur membantu Mak cik Aminah secara sukarela.\nKeadaan menjadi huru-hara dan kecoh apabila empat dara berhadapan dengan Mak cik Dadamiah, iaitu sahabat dan rakan kongsi Mak cik Aminah yang dibuli oleh dua orang anak saudaranya, iaitu Tuminah dan Kamariah. Mereka menuntut wang pusaka hasil perniagaan tersebut dengan alasan yang direka-reka. Keadaan menjadi semakin kecoh apabila tiba hari pelancaran Kelab Warisan.\nMenurut Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Alias, teater ini sarat dengan suka duka, garapan perjuangan wanita yang giat memajukan industri kampung dan mempunyai hasrat yang murni dalam hal-hal kemanusiaan dan kewanitaan yang secara tidak langsung memberikan inspirasi kepada kaum wanita.\nSiti Rohayah Attan selaku penerbit teater telah merealisasikan naskhah yang berkualiti ini dalam pementasan selama tiga hari bermula dari 22 hingga 24 Julai 2022 di Panggung Sari, JKKN Melaka. Beliau yang sememangnya dilihat unggul dalam industri seni kreatif dan telah menghasilkan lebih 50 teater mendapat sokongan dan kerjasama daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebagai penerima Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK) dan peruntukan tersebut dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.\nTujuan utama pementasan teater ini adalah untuk menyemarakkan seni persembahan pentas yang tergendala semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Gabungan produksi dan anak seni ini membantu penggiat industri seni kreatif memperoleh pendapatan selain memberikan peluang kepada masyarakat dalam memahami dan mendekati naskhah yang mengangkat martabat wanita dengan watak-watak yang dijelmakan dalam pementasan \u201cDara dan Mak cik Bawang\u201d.\nTeater \u201cDara dan Mak cik Bawang\u201d yang sarat dengan mesej positif dan menghiburkan hati dibarisi oleh para pelakon handalan dan popular negara seperti seniwati Fauziah Dato\u2019 Ahmad Daud, Liza Abdullah, Dato\u2019 Ziela Jalil dan Mak Wan. Kekuatan lakonan pentas ini turut dibantu oleh Deera Amin, Joyce Alau, Anis Eixora Amirhamzah dan Pavy Raj." "Festival Antarabangsa Silat Warisan Dunia Melabuhkan Tirai Penutup\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Festival Antarabangsa Silat Warisan Dunia yang berlangsung pada 21 hingga 24 Julai 2022 melabuhkan tirainya pada hari ini dengan Majlis Perasmian Penutupan Festival Antarabangsa Silat Warisan Dunia disempurnakan oleh Yang Berhormat (YB) Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.\nFestival dengan matlamat untuk memartabatkan seni silat sebagai warisan dunia dan wasilah mengangkat serta mempromosikan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa ini dianjurkan oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), DBP dan Silat Seni Asli Kebangsaan.\nMenurut YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam ucapannya, silat ialah satu wadah pembentukan gaya hidup yang sentiasa meniti di atas norma-norma sejagat, khususnya bertaut erat dengan adab dan budaya Melayu serta berteraskan kebudayaan rakyat asal rantau ini. Selain itu, silat bukan sahaja mengajar mengenai seni mempertahankan diri, bahkan membina ketahanan dalaman diri, jati diri, disiplin, pembentukan sahsiah yang tinggi dan melahirkan masyarakat yang mempunyai kesetiaan dan kecintaan kepada tanah air.\nTambah beliau lagi, silat dapat menghindarkan para belia daripada sebarang aktiviti yang tidak sihat dengan melatih keperibadian yang tinggi dan mulia, berkeyakinan diri, berdisiplin dan patuh kepada pemimpin melalui latihan silat. Usaha sebegini seharusnya diteruskan dan dikekalkan bagi terus menyuntik semangat bukan sahaja kepada golongan dewasa, bahkan kepada golongan kanak-kanak.\nMenurut Presiden PESAKA, Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin dalam ucapan alu-aluannya, silat merupakan antara wadah yang berupaya mendisiplinkan anak bangsa dan mampu membina jati diri seseorang insan.\nBeliau turut berkata, Malaysia mesti mendidik dan melahirkan rakyat yang mempunyai jati diri yang kuat dan sanggup berkorban jiwa dan raga demi agama, bangsa dan tanah air tercinta. Di samping itu, temasya kejuaraan silat dunia yang akan diadakan pada 26 hingga 31 Julai 2022 di Melaka bertujuan membawa dan menonjolkan imej silat di mata dunia.\n\u201cJangan ingat seni silat hanya bermain dan beraksi di gelanggang-gelanggang desa, sebaliknya silat juga mampu beraksi dan bertarung di pentas antarabangsa setanding dengan pelbagai seni pertahanan diri yang lain,\u201d kata Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin.\nDatuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP dalam ucapan sambutannya pula menyatakan bahawa seni silat bukan sekadar seni mempertahankan diri, bahkan merangkumi muzik, busana, senjata dan sebagainya. Tambahan lagi, para pesilat antarabangsa yang meminati silat akan mempelajari ilmu persilatan menggunakan bahasa Melayu dan hal ini secara tidak langsung menyebarluaskan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.\n\u201cSeni silat haruslah dikekalkan dan diturunkan dari generasi ke generasi agar warisan ini terpelihara. Pelbagai program boleh dirancang untuk mengupas seni dan budaya silat di dalam dan di luar negara seperti penerbitan buku sama ada secara bercetak mahupun digital, bicara silat, dokumentari silat, karya filem berasaskan silat dan lain-lain yang bersesuaian menggunakan bahasa Melayu. Sehubungan dengan itu, DBP memerlukan sokongan dan kerjasama guru-guru silat dan pakar-pakar bidang persilatan dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara atau organisasi yang berkaitan untuk merealisasikan hasrat tersebut,\u201d ujar Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran.\nDalam ucapan penutupan Festival Antarabangsa Silat Warisan Dunia ini, \u00a0YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul menyatakan bahawa kini silat telah dibuka secara menyeluruh sebagai sukan berprestasi tinggi yang merentasi persempadanan bangsa dan agama. Justeru, silat sudah menjadi satu wadah pengukuhan perpaduan kaum dan memupuk serta memelihara keperibadian kebangsaan.\nHarapan saya ialah penganjuran festival silat ini dapat melestarikan silat seni asli sebagai warisan tradisi dan budaya bangsa Melayu selain memperkenalkannya kepada generasi muda dan masyarakat umum serta menyebarluaskan keilmuan dan pengetahuan tentang budaya tradisi Melayu. Kami di pihak kerajaan sentiasa mengalu-alukan sebarang usaha pembangunan dan pembinaan bangsa dan kenegaraan agar dapat dikembangkan di semua peringkat awam mahupun swasta. Perkembangan silat melalui pelbagai kementerian dalam negara dapat menghasilkan juara-juara yang kemudiannya diserap bagi mewakili negeri atau negara.\nTurut hadir memeriahkan majlis ialah Pengerusi Eksekutif Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PESILAT), Benny G. Sumarsono, Timbalan Presiden PESAKA, Dato\u2019 Haji Md Sohaimi Mohamed Shah, Wakil Tetap PESAKA Malaysia di Eropah-Perancis, Auldron Le Guillou dan Pengarah Festival Antarabangsa Silat Warisan Dunia, Encik Ahmad Fahmi A. Domil." "Peribahasa Melayu Masih Berbasa-basi\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMasih adakah lagi peribahasa Melayu dalam jiwa orang Melayu veteran yang masih hidup dan berapa banyakkah orang Melayu moden pada hari ini yang mengetahui, serta mempedulikannya? Berapa banyakkah lagi orang Melayu pada hari ini yang masih suka atau sedia berperi-peri dan berbasa basi dalam urusan harian mereka?\nDisukai atau tidak dan masih perlu atau sebaliknya bagi orang Melayu pada hari ini, perkara yang memberikan kebaikan amat wajar \u201chidup\u201d dan dikekalkan hingga ke akhir dunia. Peribahasa Melayu mempunyai falsafah serta pengajaran yang mendorong perbuatan baik seperti rajin berusaha, bersifat sabar, tidak mudah putus asa dan saling membantu jika setiap golongan masyarakat memanfaatkannya, serta meneladaninya.\nOleh sebab peribahasa Melayu begitu penting, ada dua perkara yang perlu diberi perhatian serius kerana hal tersebut bukan soal remeh. Perkara pertama, generasi muda pada hari ini harus berusaha untuk mempertahan kewujudan, memperkembang dan menaik taraf peribahasa Melayu.\nBagi perkara kedua pula, usaha harus dibuat dan dipergiat agar lebih banyak golongan muda yang cakna dan mengetahui tentang peribahasa, serta memahami dan menghayati maknanya, seterusnya mengambilnya sebagai pengajaran.\nSejak beberapa tahun belakangan ini, tidak banyak anak muda Melayu yang dapat memahami maksud, apatah lagi mengambil iktibar daripada peribahasa yang ada. Mereka enggan berusaha untuk mengetahui, mempelajari atau berbangga dengan warisan tersebut.\nTidak berminat dan tiada kecaknaan terhadap peribahasa sememangnya krisis yang mesti diatasi. Oleh itu, usaha perlu dilakukan dengan giat agar kesedaran mereka untuk menghargainya dapat dibangkitkan semula. Beberapa agensi di bawah kementerian tertentu merupakan antara badan yang boleh memainkan peranan dalam melestarikan peribahasa Melayu.\nAntaranya, tentulah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Jabatan Warisan Negara dan Perpustakaan Negara Malaysia (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia).\nMemang tidak dapat dinafikan bahawa usaha yang positif dalam mengekalkan peribahasa Melayu sudah lama wujud. Sebagai contoh, usaha yang dilakukan itu dengan menyelitnya menerusi mata pelajaran Bahasa Melayu dan sesekali dalam ruangan peribahasa bergambar dalam majalah terbitan DBP seperti Dewan Pelajar.\nNamun demikian, usaha tersebut belum mencukupi kerana penonjolannya sekadar dibaca dan dipelajari tanpa penghayatan. Pengajaran peribahasa Melayu di sekolah-sekolah juga perlu dianggap penting dan bukan sekadar memenuhi kurikulum yang digubal.\nPeribahasa Melayu yang menganjurkan segala usaha ke arah kebaikan, pengajaran dan nasihat mestilah diutamakan. Dengan demikian, generasi akan datang dapat menilai sikap dan rupa masyarakat nenek moyang mereka menerusinya, sementelah peribahasa itu merupakan ilmu yang tidak terbatas.\nAntara contoh peribahasa Melayu itu termasuklah seperti \u201cBerjagung-jagung dahulu sementara menunggu padi masak\u201d, \u201cBelakang parang kalau diasah lagikan tajam\u201d, \u201cSedikit-sedikit lama-lama jadi bukit\u201d, \u201cSesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan\u201d, \u201cSeperti aur dengan tebing\u201d, \u201cBulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat\u201d, \u201cBerat sama dipikul, ringan sama dijinjing\u201d, \u201cCubit paha kiri, paha kanan terasa juga\u201d, \u201cAir dicencang takkan putus\u201d, \u201cSarang tebuan jangan dijolok\u201d, dan \u201cAir tenang jangan disangka tiada buaya\u201d.\nKesemua contoh peribahasa tersebut mengandungi maksud pengajaran yang amat dalam, selain menyelitkan nilai murni, yang sekali gus menggambarkan cerminan masyarakat Melayu itu sendiri. Lebih elok dan menarik sekiranya tidak dibuat pengelasan mengenai beberapa peribahasa yang seakan-akan atau serupa maknanya untuk memudahkan pemahaman atau tafsiran.\nSebagai contoh, \u201cBerjagung-jagung dahulu sementara menunggu padi masak\u201d, \u201cBelakang parang kalau diasah lagikan tajam\u201d, dan \u201cSedikit-sedikit lama-lama jadi bukit\u201d, membawa pengajaran agar gigih berusaha dan sabar. Gigih berusaha dan sabar merupakan sifat dan sikap orang Melayu, serta perkara positif yang patut dikekalkan dan diteladani.\n\u201cSesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan\u201d pula mengajar seseorang itu agar segera insaf dan kembali semula ke permulaan atau landasan sebenar, setelah menyedari kesilapan yang dilakukan. Peribahasa itu juga mengajar kita agar tidak cepat putus asa dan mudah kecewa.\n\u201cSeperti aur dengan tebing\u201d, \u201cBulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat\u201d, \u201cBerat sama dipikul, ringan sama dijinjing\u201d, dan \u201cCubit paha kiri, paha kanan terasa juga\u201d pula menanamkan sifat mulia seperti bersatu padu, bergotong-royong, dan bantu-membantu.\nBergotong-royong dan bantu-membantu memang amalan yang tidak asing lagi dalam kehidupan masyarakat Melayu. Namun begitu, sejak akhir-akhir ini, amalan tersebut nampak semakin surut. Sikap individualistik dan berpecah-belah pula kian melebar yang sememangnya tidak diingini dalam norma bermasyarakat, malah tidak diajar oleh agama Islam pun. Oleh itu, masyarakat Melayu pasti memahaminya kerana mereka beragama Islam.\nBanyak manfaat boleh dikecapi hasil amalan hidup bergotong-royong dan bersatu-padu. Kesenangan sama-sama dinikmati, dan kesusahan turut diatasi bersama-sama juga. Kekuatan dapat dibina untuk menghadapi ancaman musuh. Perselisihan sesama saudara boleh diatasi. Saudara tetap saudara tanpa mengira siapa pun mereka. Setiap kejahatan atau kesalahan sedia dimaafkan. Hubungan persaudaraan tetap terjalin dan tidak akan putus sebagaimana maksud sebuah lagi peribahasa, iaitu \u201cAir dicencang takkan putus\u201d.\nSementara itu, peribahasa \u201cSarang tebuan jangan dijolok\u201d dan \u201cAir tenang jangan disangka tiada buaya\u201d mengajar seseorang itu agar berhati-hati, serta tidak mencari kesusahan. Pengajaran ini menyentuh persoalan yang kecil dan besar. Namun begitu, yang utamanya ialah memberikan peringatan dan pengajaran.\nSeboleh-bolehnya, ketika hidup di dunia, seseorang itu perlu mencari seberapa banyak kawan dan bukannya musuh. Selain itu, jangan pergi ke tempat berbahaya untuk mencari kesusahan kerana itu perbuatan sia-sia yang tidak wajar dilakukan.\nSentiasalah berhati-hati sebelum atau semasa melakukan sesuatu\u00a0 perkara kerana perbuatan itu dapat mengelakkan seseorang itu daripada bertemu atau terperangkap dengan kesusahan. Amalan positif itu juga dapat membantu seseorang untuk melepaskan diri dengan mudah jika bertemu dan terperangkap dengan kesukaran kerana sentiasa bersedia.\nDengan pengajaran baik daripada peribahasa tersebut, tidak mustahil orang Melayu boleh hidup bahagia, maju dan makmur jika benar-benar mengambil iktibar daripadanya.\nYang sebenarnya, orang Melayu mampu menjadi satu bangsa yang besar dan mulia jika mereka kekal bersandar pada peribahasa itu, selain ajaran Islam. Falsafahnya pun selari dengan ajaran agama suci ini.\nMalangnya, tidak banyak anggota masyarakat yang mahu atau dapat meneladani pengajaran\u00a0 melalui peribahasa kerana kurang beringat. Lantaran jarang-jarang diperingat tentang hal itu, gejala buruk seperti mudah kecewa, iri hati, suka mencari perbalahan, malas, berpecah-belah dan mudah berpuas hati dengan apa-apa yang ada mudah mempengaruhi generasi muda kini.\nOrang tua-tua dahulu jelas begitu pintar menyelitkan pengajaran yang baik dan positif secara diplomasi menerusi penciptaan peribahasa. Keindahan bahasa dalam peribahasa yang dicipta itu juga boleh dianggap sebagai salah sebuah karya sastera dan pemikiran budaya bangsa yang perlu dipertahankan.\nPeribahasa sememangnya istimewa kerana tetap sesuai pada zaman serba moden dan mencabar kini walaupun ada yang menyatakan sebaliknya dan ketinggalan zaman." "Mitos dan Legenda Langkawi di Dasar Laut\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nLangkawi \u2013 Majlis perasmian program Community Based Tourism Arca Dasar Laut di Pengkalan Kubang Badak, Langkawi telah berlangsung dan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri dan antara tetamu kehormat yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Saraya Arbi, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Kedah, Tuan Mohd Firdaus Ahmad, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Datuk Indera Dayang Fatimah Tom Abang Saufi dan Ketua Pengarah LPSVN, Amerrudin Ahmad.\nMajlis dimulakan dengan lawatan himpunan arca di perairan Pulau Pasir melalui kaedah selam skuba oleh tetamu kenamaan dan seterusnya disusuli acara menandatangani plak peringatan. Di Pengkalan Kubang Badak, majlis diteruskan dengan acara penyerahan sijil kepada artis yang terlibat dan dalam majlis yang sama turut berlangsung sesi penganugerahan sijil \u201cMost Underwater Sculpture\u201d oleh The Malaysia Books of Records, selain pameran model cetakan arca dan acara kenduri sekampung.\nArca-arca ini dihasilkan dengan menggunakan bahan seperti besi dan simen. Antara artis yang terlibat menghasilkan arca-arca ini termasuklah Tengku Sabri Tengku Ibrahim, Ahmad Fuad Osman, Mohammad Radzi Ismail, Umibaizurah Mahir @ Ismail, Mohd Al-Khuzairie Ali, Maxine Xie Xian Xin, Low Chee Peng, Zainuddin Abindinhazir @ Abdul Rashid, Abdul Mutalhalib Musa dan dibantu beberapa orang artisan termasuklah anak tempatan dari Langkawi.\nSebanyak 14 arca mengetengahkan tema mitos legenda dihasilkan di Pengkalan Kubang Badak dan dilabuhkan di Pulau Pasir dengan harapan dapat meningkatkan ekosistem dan kelestarian kehidupan marin, selain menjadi daya tarikan terbaharu produk pelancongan ke Pulau Langkawi. Penempatan arca ini diibaratkan sebagai galeri seni dalam air.\nProgram yang dianjurkan oleh MOTAC dan Balai Seni Negara ini mendapat kerjasama daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA). Selain itu, program ini turut mendapat kerjasama daripada pihak komuniti seperti penduduk kampung, nelayan dan penyelam skuba.\nPelbagai aktiviti menarik turut dijayakan bersama-sama para pemenang pertandingan Bakat Muda Sezaman 2021 (BMS21) yang telah diumumkan baru-baru ini sempena Majlis Perasmian Pembukaan Semula Galeri Balai Seni Negara." "Tumpat Sebagai Bandar Warisan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nDaerah Tumpat khususnya Bandar Tumpat merupakan sebuah kota warisan yang cukup berpotensi untuk dibangun dan dimajukan sesuai dengan tuntutan dan keperluan semasa untuk pembangunan sektor pelancongan negara pada masa akan datang.\nKelebihan Bandar Tumpat yang terletak di utara negeri Kelantan yang bersempadan dengan Selatan Thailand melalui Sungai Golok memiliki kedudukan geografi yang cukup jelas bagi menjamin kemajuan pada sektor pelancongan, khususnya dalam pembangunan warisan.\nBandar Tumpat juga merupakan sebuah jajahan yang berpotensi untuk menjadi tarikan pelancongan dengan memiliki banyak tempat-tempat menarik untuk dikunjungi. Selain tempat peranginan, Bandar Tumpat juga mempunyai bangunan-bangunan yang berstatus warisan yang masih belum dikenali oleh para pelancong sama ada pelancong domestik atau pelancong dari luar negara.\nDari segi etnik, Tumpat memiliki pelbagai etnik. Etnik Melayu merupakan etnik terbesar dan diikuti oleh kaum Siam, Cina, India, Sikh, Kemboja dan lain-lain lagi. Selain Masjid Bandar, terdapat pelbagai rumah ibadat untuk penganut agama lain seperti Buddha, Hindu, Cina, Kristian dan Sikh di Tumpat yang masih digunakan sehingga kini oleh komuniti kaum ini.\nDi samping itu, Bandar Tumpat pernah menjadi pelabuhan yang cukup penting pada suatu masa dahulu kerana lokasinya yang menghadap Laut China Selatan dan pernah menjadi destinasi persinggahan kapal dagang dari Eropah, India, China, Kemboja dan Jepun.\nDi tengah-tengah Bandar Tumpat, terdapat stesen kereta api yang menghubungkan laluan darat ke seluruh Semenanjung Malaysia hingga ke Singapura selain pengangkutan darat yang lain serta laluan sungai, yakni Sungai Kelantan hingga ke daerah Kelantan Selatan.\nAntara tempat peranginan yang terdapat di Tumpat adalah Pantai Sri Tujoh dan Pantai Geting yang menjadi tumpuan orang ramai, khususnya pada hari minggu dan sering juga diadakan pelbagai program persembahan seperti dikir barat, pesta wau, aktiviti sastera, ekspo dan pameran.\nDi Bandar Tumpat, terdapat banyak bangunan-bangunan lama yang berstatus warisan seperti Rumah Dato\u2019 Kaya Budi, bangunan stesen keretapi, Tapak Pelabuhan Tumpat, rumah api dan pengkalan pendaratan bijih Jepun. Rumah Dato\u2019 Kaya Budi pula sedang dalam perancangan untuk dijadikan Muzium Pertanian Kelantan bagi memperkenalkan alatan tradisional pertanian dan kesenian yang digunakan oleh para petani Kelantan.\nProjek pembangunan semula Kampung Laut sebagai kampung warisan yang berkonsepkan \u201cmuzium hidup\u201d atau \u201cliving museum\u201d pula membabitkan pembinaan Laman Warisan Seni, Kampung Laut yang bukan sahaja dibangunkan untuk tarikan pelancong, bahkan untuk memberi peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menjual makanan tradisional dan kraf tangan tempatan.\nBengkel menghasilkan peralatan seni dan kraf tangan oleh penggiat seni turut memberi kelebihan dan nilai tambah apabila pengunjung boleh menyaksikan penggiat seni menghasilkan hasil seni mereka selaras dengan konsep muzium hidup. Melalui pendekatan ini, para pengunjung yang berminat boleh membeli atau membuat tempahan sebagai cendera hati untuk dibawa pulang.\nPemindahan semula Masjid Kampung Laut yang berusia 300 tahun, iaitu salah sebuah masjid tertua di Malaysia ke tapak asalnya ibarat sirih pulang ke gagang. Hal ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengekalkan nilai-nilai sejarah, budaya dan seni bina masjid tersebut serta untuk menjadikannya sebagai sebuah mercu tanda warisan di Kelantan.\nDi samping itu, pemindahan semula Masjid Kampung Laut ke lokasi asalnya sudah tentu dapat memelihara nilai sejarah, budaya dan seni bina yang diwarisi sebagai mercu tanda destinasi pelancongan baharu di Kelantan. Dunia akan terus memberi perhatian apabila Masjid Kampung Laut diiktiraf sebagai tapak warisan dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).\nMenurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Projek Pembangunan Semula Kampung Laut sebagai Kampung Pelancongan Warisan adalah satu daripada inisiatif kerajaan untuk membangunkan sektor pelancongan Kelantan serta mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada warga tempatan.\nProjek yang hampir siap ini termasuk dalam rancangan Pembangunan Semula Kampung Laut sebagai kampung warisan di Tumpat yang sedang dalam proses pembinaan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).\nSelain itu, pembinaan Jambatan Palekbang-Kota Bharu yang berjumlah RM250 juta dan dijadualkan siap pada penghujung November 2023 akan dapat menyelesaikan masalah kesesakan trafik di Jambatan Sultan Yahya Petra dan pusat bandar Kota Bharu di samping menjadi laluan alternatif yang menghubungkan Tumpat dengan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa.\nJambatan ini dijangka dapat meningkatkan perhubungan penduduk setempat serta memudahkan pergerakan rakyat dan perdagangan rentas sempadan apabila siap kelak.\nDaerah Tumpat juga terkenal dengan produk batik lukis yang terletak di Kampung Talak. Produk kraf tangan pula boleh didapati di Kampung Jal Kechik dan Kampung Gelang Mas. Manakala Kampung Periok, Kampung Berangan dan Kampung Bunohan pula terkenal dengan pembuatan alat-alat muzik tradisional.\nDi samping itu, tarikan pelancongan yang berkonsepkan pertukangan berasaskan emas dan perak pula terdapat di Kampung Laut, Kampung Palekbang dan Wakaf Bharu. Pengeluaran makanan tradisional seperti serunding, dodol, gelembung buaya, kerepok, kerepek dan agar-agar kering juga boleh didapati di Kampung Laut.\nDaerah Tumpat yang popular dengan pengeluaran hasil seni dan kraf tangan turut menyediakan ruang niaga seperti Laman Warisan Seni, Kampung Laut untuk memberi peluang kepada para usahawan tempatan mempamerkan serta menjual hasil seni dan kraf tangan tempatan. Justeru, mempromosi dan mengangkat nama produk tempatan.\nCatatan sejarah membuktikan bahawa daerah Tumpat adalah sebuah daerah yang paling ramai melahirkan tokoh-tokoh serta penggiat seni budaya tempatan tanah air dalam pelbagai bidang. Tokoh Anugerah Seni Negara, Hamzah Awang Hamat (Tok Dalang Wayang Kulit) juga berasal dari Tumpat.\nSelain itu, kumpulan wayang kulit dan dikir barat juga banyak terdapat di Tumpat di samping kumpulan dikir laba, tari inai, main puteri, mak yong, menora dan lain-lain. Boleh dikatakan bahawa separuh daripada penggerak seni budaya tempatan di Kelantan adalah berasal dari daerah Tumpat.\nDi daerah Tumpat juga terdapat banyak pulau yang dihuni oleh masyarakat tempatan. Antaranya seperti Pulau Teluk Ranjuna, Pulau Berluru, Pulau Seratus, Pulau Besar, Pulau Gorek, Pulau Tongkang, Pulau Kuda, Pulau Tahir, Pulau Haji Nik Mat, Pulau Pak Ali, Pulau Gagak dan Pulau Cendur. Manakala di Pulau Suri pula terdapat pasar terapung yang menjual pelbagai makanan tradisional rakyat Kelantan." "Penjawat Awam Cerminan Wajah Perkhidmatan Awam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Majlis Perasmian Seminar Pemantapan Profesionalisme: Penjawat Awam Responsif Memperkukuh Penyampaian Perkhidmatan dan Pelancaran Kempen Membaca 2022 yang berlangsung pada 26 Julai 2022 (Selasa) di Auditorium Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara, Kuala Lumpur menjadi penanda aras dalam usaha mewujudkan sebuah perkhidmatan awam yang responsif dan berpaksikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat.\nMajlis perasmian ini dianjurkan oleh INTAN dan dirasmikan oleh Dato\u2019 Sri Mohd Shafiq Abdullah selaku Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia.\nMenurut Dato\u2019 Sri Mohd Shafiq Abdullah, seminar ini merupakan wadah untuk memperbaharui iktikad penjawat awam mengenai kewajipan memantapkan tahap profesionalisme bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam. Beliau turut menyeru semua penjawat awam agar sentiasa berpegang kepada sifat-sifat profesionalisme dalam setiap tindak-tanduk ataupun amalan seharian dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.\nTambah Dato\u2019 Sri Mohd Shafiq Abdullah lagi, untuk menjadi seorang penjawat awam yang mendukung sifat-sifat profesionalisme, seseorang itu perlu melengkapkan diri dengan kompetensi yang dikehendaki dalam meningkatkan kreativiti, inovasi dan produktiviti penyampaian perkhidmatan. Antara ciri-ciri profesionalisme yang perlu diberi penekanan oleh penjawat awam adalah kecerdasan intelektual, komunikasi berkesan, kematangan emosi, kekuatan spiritual dan kecergasan fizikal.\nDato\u2019 Sri Mohd Shafiq Abdullah turut berkata, isu yang berkaitan dengan penyampaian perkhidmatan yang profesionalisme ini boleh dinilai dengan merujuk beberapa indikator. Indikator pertama dari segi aduan awam yang diterima. Indikator kedua pula berkaitan dengan isu-isu penyelewengan yang memberikan impak pada Indeks Persepsi Rasuah Malaysia. Indeks ini merujuk persepsi masyarakat terhadap isu rasuah dalam sektor awam di Malaysia.\nCabaran masa ini dan masa hadapan sangat menuntut penjawat awam untuk memahami kehendak pelanggan yang semakin berpendidikan dan bermaklumat. Penjawat awam tidak boleh lari dari berhadapan dengan cabaran-cabaran sama ada dari dalam ataupun luar yang berpotensi\u00a0 untuk\u00a0 mengancam\u00a0 kejayaan\u00a0 dasar-dasar\u00a0 dan\u00a0 juga kedaulatan negara. Bagi menangani cabaran tersebut, penjawat awam perlu melengkapkan diri dengan pelbagai disiplin ilmu pengetahuan dan kemahiran yang relevan. Justeru, mempunyai penjawat awam yang mantap dari segi profesionalisme dan mempunyai ilmu yang luas dan terkini menjadi keperluan utama dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.\nProfesionalisme dalam perkhidmatan awam mampu ditingkatkan dengan memperkasakan tiga komponen utama, iaitu:\nDato\u2019 Sri Mohd Shafiq Abdullah juga menyatakan bahawa matlamat utama penubuhan agensi-agensi awam adalah untuk memenuhi keperluan rakyat dan negara. Bagi mencapai objektif tersebut, sistem penyampaian perkhidmatan awam yang berintegriti tinggi amat diperlukan supaya dasar-dasar kerajaan dapat dilaksanakan secara telus dan berkesan. Menerusi tahap integriti yang tinggi juga, sistem pentadbiran dan perkhidmatan awam yang cekap dan berdisiplin berteraskan penerapan nilai-nilai murni dapat diwujudkan. Justeru, untuk meneguhkan nilai integriti dalam perkhidmatan awam, aspek moral, tingkah laku dan pembuatan keputusan haruslah berpaksikan kepada nilai-nilai murni yang menyeluruh.\nDi samping itu, setiap penjawat awam juga perlu mengamalkan budaya kerja yang profesional dan kawalan diri yang tinggi serta tidak membiarkan emosi negatif mempengaruhi dirinya dalam melaksanakan tugasan harian agar penyampaian perkhidmatan menjadi cekap dan efisien.\nSet minda yang kolaboratif juga amat diperlukan merangkumi integrasi data maklumat serta perkongsian inisiatif dalam kalangan pihak yang berkepentingan. Perkongsian dan pengintegrasian ini boleh mengurangkan kos dan memberikan nilai tambah yang akhirnya membawa impak positif kepada kualiti dan prestasi penyampaian Perkhidmatan Awam Malaysia.\nBeliau turut menyeru seluruh sektor awam untuk bersama-sama menggembleng pemikiran, usaha dan sumber bagi merealisasikan semua inisiatif berkenaan ke arah menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat pada tahap yang terbaik.\nSebagai seorang penjawat awam, membaca seharusnya menjadi salah satu amalan penting yang tiada bernoktah dalam kehidupan. Melalui pembacaan, penjawat awam dapat mengetahui, memahami dan menghayati pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Hal ini dapat membentuk pemikiran penjawat awam yang kritis, memberikan kesan kepada keupayaan dalam membuat keputusan dan dapat melaksanakan tugas dengan cemerlang. Sehubungan dengan itu, perkhidmatan awam dapat dibentuk sebagai \u201cThe Thinking Civil Service\u201d yang sentiasa memberikan sumbangan kepada kerajaan dalam merangka dasar, strategi dan kaedah pelaksanaan terbaik yang dapat menyelesaikan isu rakyat dan negara dengan lebih berkesan.\nManakala Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Datuk Dr. Alauddin Sidal dalam ucapan alu-aluannya pula berkata, penganjuran seminar ini adalah sebagai satu usaha ke arah memantapkan pemikiran, sikap, profesionalisme dan kompetensi penjawat awam supaya berkhidmat dengan lebih cekap dan berkesan. Pada masa yang sama, seminar ini menjadi platform bagi perkongsian input dan pandangan mengenai daya ikhtiar yang boleh dirancang dan dilaksanakan dalam usaha melahirkan penjawat awam yang responsif, proaktif, berprestasi hebat dan berintegriti tinggi bagi memenuhi kehendak perkhidmatan awam demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.\n\u201cSebagai tulang belakang pentadbiran kerajaan, penjawat awam perlu lebih sensitif dalam melaksanakan amanah bagi memelihara kesejahteraan Keluarga Malaysia yang sedang bergelut dengan cabaran untuk meneruskan kelangsungan hidup. Rakyat mahukan penjawat awam yang responsif dan segera bertindak memudah cara dalam menyedia serta menyalurkan semua bantuan terhadap keperluan rakyat tanpa terbelenggu oleh sebarang kerenah birokrasi,\u201d ujar Datuk Dr. Alauddin Sidal.\nJelas Datuk Dr. Alauddin Sidal lagi, amalan tadbir urus yang baik bagi setiap penjawat awam seperti jujur, amanah dan integriti mampu menzahirkan tindakan proaktif serta responsif. Justeru, penjawat awam akan dapat meneruskan momentum kecemerlangan melalui budaya kerja berprestasi tinggi dengan sentiasa peka dan segera bertindak demi memacu kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia.\nTurut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Timbalan Pengarah Kanan (Pembangunan Kompetensi) INTAN, Puan Salinah Ismail dan Pengarah Aduan, Biro Pengaduan Awam, Encik Mohamed Faizal Buang." "Tangan Magis Seorang Hakim\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTangan magis seorang Hakim ini bermula sejak beliau masih kecil. Hakim seorang anak yang berbakat. Neneknya pernah menunggu di luar sewaktu dia melukis mural pada dinding tadikanya. Guru-guru tadikanya berasa kagum dengan hasil kerja tangan Hakim. Satu daripada lukisan awal yang dihasilkan oleh Hakim adalah menara jam besar bandar Klang dan litar lumba di Batu Tiga, Shah Alam.\nHakim terkesima dengan apa-apa sahaja pandangan yang menarik di sekelilingnya. Tidak ada dorongan daripada sesiapa, tetapi alam sekeliling yang menggerakkan nalurinya untuk melukis. Seperti kebiasaan, ibu dan bapanya cuba mendorongnya mengambil jurusan perubatan, akaun atau undang-undang. Tidak pernah mereka terfikir bahawa Hakim akan belajar seni lukis.\nSewaktu belajar di Curtin University of Technology, Perth, Australia, pada awalnya Hakim menyambung pelajaran dalam jurusan Pengajian Perniagaan (Business Studies), tetapi selepas tiga minggu berlalu, beliau memohon untuk belajar di Sekolah Seni Lukis dan Seni Reka. Kemasukan ke sekolah seni memerlukan portfolio yang mengandungi karya-karya asalnya. Hakim tidak membawa sebarang bukti tentang bakat dan kesungguhannya dan semua hasil karya-karyanya berada di Malaysia.\nHakim mohon diberi peluang untuk membuat lukisan dalam kelas dengan model orang hidup. Selepas 4 jam, lukisannya siap dan mereka berasa kagum dengan hasilnya serta tiada alasan untuk beliau tidak diterima masuk ke sekolah seni itu. Selepas tiga tahun, Hakim berjaya memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengiklanan dan Seni Reka Grafik.\nJika anda masuk belajar ke sebuah institusi seni lukis dan seni reka, anda akan diajar untuk melukis dan melakar dengan menggunakan pensel dan arang di atas kertas putih. Melukis dan melakar adalah asas kesenian. Kemudian barulah anda diajar mengenali warna sebelum mula membuat catan atau painting.\nCatan pula banyak medianya seperti cat air, akrilik, pensel atau kapur warna dan cat minyak. Hakim mempelajari semuanya namun akhirnya beliau memilih untuk menjadi pelukis yang menggunakan pensel dan arang. Sudah tentu beliau ada alasan tersendiri yang kuat dan menarik.\nMelihat lukisan pensel dan arang hasil karya Hakim, kita akan sedar sebab dan alasannya. Hal tersebut merupakan kekuatan dan keluarbiasaan yang dimiliki Hakim. Pertama kali penulis melihat sendiri karya-karya Hakim pada 23 Oktober 2021 di Balai Seni Negara dalam sebuah pameran solonya. Penulis hadir bersama isteri dan anak perempuan. Kami terkejut apabila Hakim dan isterinya, Aeshah membawa kami masuk ke suatu ruang yang mempamerkan lukisan Portraits of Champion, siapa lagi kalau bukan kelab bola sepak Liverpool FC.\nPenulis berasa kagum dan terkedu melihat lukisan wajah Jurgen Klopp (Pengurus Pasukan Liverpool) dan para pemain kelab bola sepak Liverpool FC seperti Alisson Becker, Alexander Arnold, Joel Andre Matip, Virgil Van Dijk, Andrew Robertson, Fabinho, Jordan Henderson, Georginio Wijnaldum, Sadio Mane, Mohamed Salah, Roberto Firmino, Joe Gomez, James Milner dan Divock Origi.\nHakim mengabadikan bukan sahaja wajah tetapi juga gerak aksi mereka dalam seni lukisan. Semua lukisan tersebut terkandung dalam sebuah buku terbitan yang terhad dan berwarna merah dengan judul Portraits of Champion \u2013 Immortalised in Traditional Graphite and Charcoal.\u00a0\u00a0 \nSememangnya benar, lukisan pensel disalin daripada gambar, sama ada gambar berwarna hitam dan putih atau berwarna-warni. Ramai orang menganggap bahawa karya tersebut merupakan hasil salinan daripada karya orang lain dan bukannya karya asal. Walau bagaimanapun, bukan semua orang boleh menyalin dengan tepat atau memberikan beberapa ciri kelainan yang menarik dan mempesona. Dunia digital pada hari ini boleh menyalin gambar dengan tepat, bahkan turut boleh diubah suai bagi menampakkan kelainan.\nKecanggihan teknologi digital dan elektronik zaman ini mampu mengubah dan meminda banyak aspek kesenian seperti raut wajah yang berparut akibat kesan jerawat boleh kelihatan licin dan halus melalui bantuan teknologi dalam penyuntingan. Sebaliknya, lukisan pensel pula bertujuan untuk mengekalkan ciri-ciri keaslian atau keistimewaan yang dihasilkan oleh artisnya. Masing-masing mempunyai pelbagai ciri yang tersendiri.\nAnda tentu pernah menonton teater yang dipersembahkan di atas pentas. Teater adalah lakonan orang hidup yang spontan. Pementasannya diulang-ulang dengan cara yang sama. Jika pementasan teater dipersembahkan sebanyak seratus kali, ertinya sebanyak seratus kali barisan pelakonnya beraksi secara langsung di hadapan para penonton yang berbeza. Hal ini berbeza dengan dengan pelakon filem atau pelakon drama televisyen yang hanya sekali terakam dan boleh diulang siar atau diulang-tayangannya di mana-mana sahaja.\nBegitu juga dengan bidang fotografi yang bertujuan merakam foto dan kemudian gambarnya boleh dicetak seberapa banyak berbanding lukisan tangan yang hanya mampu menghasilkan satu lukisan sahaja. Kemodenan dunia digital pada hari ini banyak merosakkan keaslian karya apabila karya yang asli boleh disalin secara tepat dengan sebanyak mungkin. Hal ini amat ditakuti oleh golongan artis kerana hak cipta sudah tidak lagi terpelihara.\nGambar foto dan lukisan berwarna hitam putih berasal dari sumber yang sama namun kelihatan berbeza. Kesan yang dilukis terlihat pada garis, sapuan, tona dan warna gelap terang. Sememangnya artis akan cuba menyalin setepat yang mungkin setiap karya namun sentuhan tangan yang berbeza tetap akan menampakkan sedikit perbezaan dalam karya yang dihasilkan.\nPerbezaan ini merupakan ciri-ciri keaslian, kelebihan dan kelainan sehingga peminat seni memilih untuk memiliki lukisan yang dihasilkan berbanding foto asalnya. Nilai sebuah hasil karya tangan seorang pelukis adalah lebih tinggi kerana dibuat dengan sepenuh hati dengan ketelitian yang tinggi dan luar biasa yang hanya ada pada seorang artis yang komited.\nSeterusnya, dalam bidang seni lukis hitam putih berteraskan pensel dan arang, Hakim turut mengagumi para pelukis yang sealiran dengannya seperti Emmanuel Dascanio (Itali), Paul Cadden (Britain), Paul Lung (Hong Kong), Justin Maas (Kanada), Jono Dry (Afrika Selatan) dan artis klasik Leornardo da Vincci.\nMenurut Hakim, pelukis-pelukis ini berada di puncak tertinggi dalam genre seni ini. Kekaguman kepada para pelukis ini menjadi penggerak dan pendorong untuk beliau menjadi sama seperti mereka atau lebih baik. Penulis meneliti lukisan-lukisan hasil tangan para pelukis terkenal itu dan membuat perbandingan dengan karya yang dihasilkan oleh Hakim. Ternyata hasil karya Hakim setara dengan mereka, bahkan ada karyanya yang ternyata lebih baik berbanding hasil karya para pelukis tersohor tersebut. Inilah pelukis Malaysia yang bertaraf dunia.\nSatu hakikat yang menghairankan adalah tidak ramai orang yang meminati bidang seni lukis kerana tidak mendapat sokongan yang menggalakkan. Para penggiat dan pengkarya seni umpama dibiarkan bergerak dan berkembang sendiri. Kita mengambil jalan mudah untuk mengabadikan wajah-wajah para pemimpin negara, tokoh korporat, pemimpin-pemimpin institusi atau agensi kerajaan dan swasta dengan merakam gambar mereka dan kemudian gambar-gambar tersebut dimasukkan ke dalam bingkai untuk dipamerkan pada dinding pejabat.\nBegitu juga dengan gambar-gambar hasil fotografi yang disertakan bersama-sama dalam laporan tahunan, kad ucapan atau cenderahati. Kita tidak pernah terfikir untuk menukarnya kepada gambar-gambar yang dilukis tangan sama ada secara berwarna-warni atau hitam putih. Kita juga tidak terfikir untuk membantu mengembangkan kegiatan industri seni dan sekali gus memberi penghargaan kepada para pengkaryanya.\nPenulis pernah melihat pameran lukisan pensel hitam putih yang dihasilkan oleh seorang pensyarah di sebuah universiti. Penulis mencadangkan agar lukisan itu menghiasi halaman buku laporan tahunan bagi menampakkan sesuatu kelainan yang baharu.\nSeni tidak akan berkembang maju tanpa sokongan dan sanjungan daripada masyarakat. Negara-negara maju sentiasa mengamalkan kemajuan yang menyeluruh dalam semua bidang seperti seni budaya, teknologi, ekonomi, pendidikan dan pemikiran rakyatnya. Hasilnya wujud kesejahteraan dan kebahagiaan hidup yang dapat dinikmati oleh seluruh rakyat yang bertugas atau bergiat aktif dalam semua bidang bagi kelangsungan kehidupan.\nHakim mempelajari semua medium dalam bidang seni lukis dan seni reka, namun beliau memilih untuk melukis menggunakan pensel dan grafit kerana beliau sangat mementingkan kawalan gerak tangan. Menurut Hakim, hasil seni lukisan terhasil melalui pergerakan tangan, garis halus kasar antara hitam kelabu dan kelam serta sentuhan jari yang menampakkan kelicinan gelap dan terang.\nSewaktu berlangsungnya pameran di Balai Seni Negara yang lalu, Pesuruhjaya British di Malaysia, Charles Hay dan isteri mengunjunginya dan melihat sebahagian daripada hasil karya-karya Hakim berkaitan wajah-wajah Queen Elizabeth II dan mereka berasa sangat kagum dan terpesona dengan keunikan dan kecantikan lukisan-lukisan tersebut.\nHakim dan Aeshah sedang dalam perancangan untuk menerbitkan hasil lukisan-lukisan dalam sebuah buku yang bertajuk Her Majesty \u2013 a Pencil Point of View from Malaysia. Hakim turut menyimpan hasrat untuk menghadiahkan 30 buah potret yang mengandungi 100 lukisan Her Majesty Queen Elizabeth II melalui pameran yang bakal diadakan di kediaman pesuruhjaya itu bersempena sambutan Jubli Platinum Ratu Elizabeth II.\nPameran ini akan turut diadakan di Istana Buckingham, England dan penulis berharap agar para diplomat dan kenamaan dari Malaysia akan menyampaikan naskhah buku tersebut kepada baginda Ratu Elizabeth II sempena 70 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Britain. Penulis percaya seluruh rakyat Malaysia akan turut berasa bangga, menunggu dan merestuinya." "Masyarakat Cakna Mempertahankan Warisan Silat Seni Gayong\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Bertempat di Gelanggang Silat Seni Gayong Malaysia Singa Berantai Cawangan Bangsar, PPR Seri Alam, Sungai Besi telah berlangsung ujian kenaikan tahap tali pinggang bagi pesilat yang telah lulus ujian.\nMenurut Haryatee Mohd Yusoff, Setiausaha Pertubuhan Silat Seni Gayong Serantau Cawangan Bangsar, gelanggang ini diwujudkan hasil daripada usaha penduduk yang menyedari keperluan kewujudan gelanggang silat seperti ini agar ilmu seni bela diri silat gayong dapat diajar dan diwariskan kepada lebih ramai orang. \u201cIlmu silat ini adalah suatu ilmu yang harus kita wariskan kepada generasi Keluarga Malaysia,\u201d ujar Haryatee Mohd Yusoff.\nPengasas gelanggang Gelanggang Silat Silat Seni Gayong Malaysia Singa Berantai Cawangan Bangsar, iaitu Cikgu Mat Tahir Jasmani yang berusia 74 tahun menyifatkan usaha melestarikan silat seni gayong oleh anak-anak para pesilat gayong tidak kira walau di mana sahaja mereka berada haruslah konsisten dilakukan agar silat seni gayong ini akan berkekalan buat selama-lamanya.\nCikgu Mat Tahir Jasmani turut menjelaskan bahawa seni silat ini merupakan tanda jati diri yang mesti ada dalam diri semua orang dan setiap pelajar ilmu silat walau berbeza aliran sekalipun mestilah bersungguh-sungguh dengan tekad yang tinggi untuk mempelajari serta menguasai ilmu silat yang dipelajari.\nCikgu Mat Tahir Jasmani turut berkata, sejak Gelanggang Silat Seni Silat Gayong Malaysia Singa Berantai Cawangan Bangsar diasaskan pada tahun 2014, terdapat lebih 150 orang pesilat gayong yang telah mewarisi silat seni gayong ini. Manakala seramai 30 orang anak pesilat gayong telah menghadiri rutin sesi Latihan silat. Turut melatih silat seni gayong di gelanggang ini ialah Cikgu Muhammad Fairuz Sanudin.\nAntara yang menarik perhatian dan mencuit hati adalah aksi keberanian 10 orang anak cilik yang berusia antara tujuh hingga sebelas tahun yang menuntut ilmu silat seni gayong serta fokus memberikan tumpuan sewaktu sesi latihan silat sedang berlangsung.\nAdik Amar Hariz Daniel yang berusia lapan tahun berkata, beliau berasa amat bertuah kerana dapat mempelajari silat seni gayong dan bercita-cita untuk menjadi pesilat yang agung dan berani. Manakala Muhammad Adam Daniel yang berusia 16 tahun pula menyatakan bahawa dengan mempelajari seni silat, khususnya silat seni gayong, remaja akan menjadi insan yang berdisiplin dan menghargai setiap ruang dan waktu yang ada dengan melakukan pelbagai aktiviti yang berfaedah.\nPada malam Latihan tersebut turut berlangsung ujian kenaikan tahap bengkong dan turut hadir meraikan para pesilat silat seni gayong yang menghadiri sesi latihan tersebut ialah Cikgu Nor Azman Mokhtar, Ustaz Mazlan Harun dan Cikgu Abdul Hadi." "Menyusuri Kemegahan Sejarah Sungai Merbok\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMerbok \u2013 Bersempena dengan program \u201cWacana Karya Agung Melayu Hikayat Merong Mahawangsa\u201d, satu lawatan sejarah menyusuri Sungai Merbok, Kedah telah diadakan pada 28 Julai 2022. Lawatan yang disertai oleh staf Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan ahli Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) turut melibatkan pembentang kertas kerja wacana yang telah berlangsung pada sebelah pagi.\nLawatan bermula di Kompleks Pelancongan Sungai Merbok yang turut menempatkan beberapa kemudahan lain seperti Jeti Semeling, Galeri Produk Jerai Geopark, Pusat Interpretasi Pelancongan Kuala Muda, restoran dan surau. Peserta dibawa mengenali sejarah dan keindahan daerah Kuala Muda khususnya Sungai Merbok di Galeri Produk Jerai Geopark. Galeri ini dibahagikan kepada tiga galeri kecil yang lain, iaitu Galeri Kedah Tua, Galeri Geopark Jerai dan Galeri Biodiversiti Merbok.\nPeserta boleh menghayati kegemilangan Kerajaan Kedah Tua yang dianggarkan mula berkuasa sejak kurun ke-6 SM di Galeri Kedah Tua. Catatan sejarah ini dipamerkan dalam infografik yang menarik bagi memudahkan pemahaman pembaca. Turut dipamerkan pelbagai artifak seperti tuyure yang digunakan dalam proses peleburan besi.\nGaleri Geopark Jerai pula memaparkan informasi mengenai geologi Jerai dan usaha yang telah dilakukan bagi menjadikan Jerai Geopark sebagai satu daripada taman geologi utama di Malaysia. Peserta atau pengunjung yang melawat Galeri Biodiversiti Merbok pula boleh melihat kepelbagaian flora dan fauna terutamanya aneka spesies pokok bakau. Kepentingan bakau terhadap alam sekitar juga ada dipaparkan di sini.\nPeserta mula menaiki bot di Jeti Semeling untuk menyusuri ke arah hulu Sungai Merbok. Pemandu pelancong, iaitu Puan Rosini atau lebih mesra dipanggil Mak Su memberi penerangan tentang sejarah Sungai Merbok yang pernah menjadi penempatan dan laluan utama untuk tujuan perdagangan suatu ketika dahulu. Antara perkara yang menarik adalah kisah kewujudan sebuah istana terapung yang dikatakan pernah berdiri megah di sekitar kawasan Pulau Tiga yang berada di situ. Kewujudan istana ini juga turut terakam dalam catatan seorang mubaligh ke kawasan ini.\nSejarah Sungai Merbok juga banyak diceritakan dalam karya-karya agung negeri Kedah seperti Al Tarikh Salasilah Negeri Kedah dan Hikayat Merong Mahawangsa. Selain itu, Mak Su juga menerangkan tentang spesies bakau serta spesies helang seperti helang siput dan helang merah yang terdapat di sepanjang Sungai Merbok.\nLawatan berakhir di Pelantar Paksu Wan Tiram yang terdapat sangkar untuk menternak tiram. Peserta juga diberi taklimat tentang spesies tiram yang diternak di sini selain mendapat peluang untuk merasai sendiri kesegaran tiram yang diambil terus dari sangkar.\nHasil daripada lawatan ini bukan sahaja menambah ilmu pengetahuan peserta mengenai sejarah dan biodiversiti Sungai Merbok, malah memberi semangat baharu untuk terus menggali kisah sejarah yang terbenam di dasarnya." "\u201cBalBuk Haus\u201c Tarikan Baharu Pelancongan Seni di Perlis\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPadang Besar \u2013 Pada bulan Mac 2022 yang lalu, \u201cBalBuk Haus\u201c telah dipetakan sebagai salah satu ruang ekosistem seni dalam Jelajah Pemetaan Seni Malaysia bagi Negeri Perlis. \u201cBalBuk Haus\u201c bukan sekadar ruang personal, tetapi merupakan platform kepada kempen kesedaran alam, seni dan budaya untuk meraikannya bersama-sama.\nDemikian dipersembahmaklumkan oleh Ahmad Soffi Abdul Manah, atau nama penanya Arafat Hambali, ketika menerima keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan melawati Kampung Balik Bukit, Chuping ketika mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan Ke 51 bagi tahun 2022 di sekitar baru-baru ini.\n\u201cBalBuk Haus\u201c yang mula beroperasi ada penghujung tahun 2019 merupakan ruang pengkaryaan sambil menikmati makanan sambil ditemani bunyi unggas dan panorama sawah padi. Pada pertengahan tahun 2022, \u201cBalbuk Haus\u201c mula beroperasi sebagai sebuah kafe kecil dengan mengekalkan menu utamanya, iaitu Nasi Lalap dan beberapa kuih tradisional, seperti buah melaka, tepung talam dan sebagainya.\nSempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut meluangkan masa melihat Warong Chaq yang diusahakan oleh Abd Razak Kasim. Warung tersebut\u00c2\u00a0 beroperasi sejak 20 Jun 2022 pada hari sabtu hingga rabu dari jam 7 hingga 11 pagi dan tutup pada khamis dan jumaat. Antara menu sarapan pagi \u2013 semuanya dibuat sendiri oleh ahli keluarga beliau \u2013 termasuklah nasi lemak, pulut kuning, gulai ayam, cucur dan kuih-muih.\nBaginda turut meninjau \u201cBBC Campsite\u201c di Lorong Haji Mahmud sekitar kawasan yang sama dan disambut oleh pemiliknya Khairul Fadzli Rosli. Kawasan campsite yang dapat memuatkan hingga 40 orang pada satu-satu masa dengan menyediakan 15 khemah ini berlatarbelakangkan pemandangan indah bukit dan sawah padi. Harga sewaan tapak adalah sebanyak RM80 untuk keseluruhan tapak, termasuk penggunaan tandas, eletrik, air dan juga tempat barbeku.\nTuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyantuni dan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga asnaf terpilih, iaitu Abdul Saman di Kampung Kubang Perun, Nanyan Isa di Kampung Chelong dan Adam Ali juga di Kampung Chelong yang menerima RM700 setiap seorang." "Nazam Membentuk Perpaduan dan Jati Diri\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nBukit Palah \u2013 \u201cPertandingan nazam bukan hanya bertujuan untuk mencungkil bakat dalam kalangan peserta, bahkan turut menyumbang dalam membina jati diri dan disiplin generasi muda,\u201d ujar Datuk Muhammad Jailani Khamis, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Melaka mewakili Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali, Ketua Menteri Melaka pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Nazam Sempena Sambutan Maal Hijrah dan Ekspo Tamadun Islam Peringkat Negeri Melaka Tahun 1444H / 2022M di Dataran Pusat Islam, Bukit Palah, Melaka.\nMenurut Datuk Muhammad Jailani Khamis, pertandingan nazam juga mampu menarik minat orang ramai terutamanya generasi muda untuk bersama-sama menghayati warisan seni Melayu yang kini semakin kurang mendapat tempat dan perhatian dalam kalangan masyarakat.\nMengulas lanjut, Datuk Muhammad Jailani Khamis turut menyatakan bahawa seramai 653 peserta menyertai pertandingan nazam ini. Mereka terdiri daripada 16 kumpulan pelajar sekolah rendah, 19 kumpulan pelajar sekolah menengah dan sembilan kumpulan bagi kategori terbuka.\n\u201cNazam sentiasa dikaitkan dengan agama Islam dan bangsa Melayu khususnya di Melaka. Saya khuatir pada era ini kita alpa untuk memelihara adat, budaya dan tradisi Melayu ini, maka warisan ini akan mati atau ditinggalkan dan dilupakan begitu sahaja. Justeru, saya berharap agar pertandingan nazam seperti ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang dan kerajaan negeri Melaka akan memberi peruntukan hadiah yang lebih besar dan lumayan pada pertandingan nazam tahun depan,\u201d kata Datuk Muhammad Jailani Khamis.\nJohan Pertandingan Nazam Negeri Melaka bagi kategori terbuka dimenangi kumpulan Sabiq Abrar. Manakala johan bagi kategori sekolah menengah milik kumpulan Zahratul Iman dan johan bagi kategori sekolah rendah pula dimenangi kumpulan Ikhwanunnajah.\nJohan bagi kategori terbuka menerima wang tunai RM5000, plak beserta sijil penghargaan, disusuli johan kategori sekolah menengah membawa pulang wang tunai RM3500, plak beserta sijil penghargaan. Manakala johan bagi kategori sekolah rendah pula menerima wang tunai RM2500, plak beserta sijil penghargaan.\nTurut hadir sama memeriahkan majlis ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Shukri Che Mat, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran dan Pengurus Besar Institut Warisan Melaka (INSWA), Nurman Mohd Baroldin." "Pameran Rumah Tradisional Lambang Masyarakat Berbilang Bangsa\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPetaling Jaya \u2013 Pameran \u201cReplika Rumah Tradisional Kita\u201d di Muzium Petaling Jaya, Selangor mempamerkan kira-kira 18 buah replika rumah tradisional dari semua negeri yang berada di Malaysia. Bukan sahaja reka bentuk dan binaan model rumah tersebut yang cantik, malah saiz dan susunan replika tersebut turut kelihatan comel.\nPameran \u201cReplika Rumah Tradisional Kita\u201d berlangsung sehingga 12 Ogos 2022 dan antara replika rumah tradisional yang dipamerkan termasuklah Rumah Perlis, Rumah Kedah, Rumah Pulau Pinang, Rumah Perak atau Rumah Kotai, Rumah Bugis Selangor, Rumah Negeri Sembilan, Rumah Melaka, Rumah Limas Bugis (Johor), Rumah Pahang, Rumah Kelantan, Rumah Terengganu, Rumah Rungus Sabah, Rumah Lotud Sabah, Rumah Panjang Sarawak (Iban), Rumah Orang Ulu Sarawak, Rumah Bidayuh (Sarawak), Rumah Orang Asli (rumah biasa) dan Rumah Orang Asli (Rumah Yeau-Deg Yeau).\nPameran yang dianjurkan oleh Muzium Petaling Jaya tersebut turut mempamerkan replika perauk tambang atau perahu tambang (Sarawak) yang merupakan nadi pengangkutan di Sungai Kuching, Sarawak sejak sekian lama dan masih menjadi satu daripada ikon bandar raya Kuching. Perauk tambang atau perahu tambang juga pernah dijadikan sebagai tempat tinggal sementara bagi masyarakat Melayu Sarawak pada suatu masa dahulu.\nPengunjung pameran berkenaan tentu bersetuju jika dikatakan Rumah Negeri Sembilan yang paling menonjol kerana reka bentuk bumbungnya yang unik. Keseluruhan reka bentuk bumbung panjang Rumah Negeri Sembilan bersifat Minangkabau. Serambi replica rumah tersebut juga mempunyai bentuk yang memanjang serta terdapat bahagian hujung dan pangkal yang ditentukan mengikut laluan anak sungai.\nSeni bina warisan Rumah Kotai pula hanya terdapat di negeri Perak. Maksud Rumah Kotai yang juga disebut Kotai merujuk kepada lama atau tua, dan masih didiami penduduk tempatan sejak lebih 200 tahun dahulu. Ciri khususnya dapat dilihat pada ragam hias lebah tergantung, dan penggunaan daun tepas berkelarak pada muka tebar layarnya.\nManakala seni bina Rumah Limas Bugis (Johor) mempunyai bentuk asas yang sama, iaitu dibina secara sederhana tinggi. Di dalamnya terdapat unsur rumah tradisi Melayu, terutamanya ciri hiasan kelarai dan alas tiang rumah di samping mempunyai \u201cbumbung lima\u201d atau \u201climas\u201d (atap perisai).\nSelain Rumah Bujang, sebuah lagi jenis rumah tradisional Melayu yang terdapat di Kelantan adalah Rumah Tiang 12 yang mempunyai 12 tiang utama pada rumah ibu, enam tiang serambi dan enam tiang panjang. Rumah Tiang 12 juga mempunyai bumbung yang panjang dengan tepi sudut dindingnya dipasangkan tabir layar.\nEtnik Bidayuh di Sarawak sememangnya terkenal dengan Rumah Baruk yang dikenali sebagai tempat untuk pahlawan Bidayuh. Di bahagian dalam Rumah Baruk dikatakan dipenuhi dengan barang-barang peninggalan seperti gong, senjata, dan tengkorak musuh. Setiap upacara dan ritual tradisional etnik Bidayuh turut dilaksanakan di rumah ini.\nKerja-kerja membina sebarang jenis rumah termasuklah jenis rumah tradisional mustahil dapat dijayakan tanpa peralatan yang sesuai dan lengkap. Pameran \u201cReplika Rumah Tradisional Kita\u201d turut mempamerkan peralatan yang berkaitan membina rumah seperti tali sifat, ketam kayu, pahat, kapak, tukul bola peen, tukul kuku kambing, tukul getah dan gergaji bunga.\nWalaupun kelihatan ringkas, namun pameran ini membawa banyak manfaat, terutamanya kepada peminat dan pengkaji rumah tradisional di Malaysia kerana turut menampilkan tayangan video yang berterusan mengenai rumah tradisional. Buku-buku yang berkaitan juga disediakan sebagai bahan rujukan.\nPameran \u201cReplika Rumah Tradisional Kita\u201d dibuka setiap hari, kecuali pada hari Jumaat bermula dari pukul 9 pagi sehingga 5 petang, iaitu mengikut waktu urusan Muzium Petaling Jaya dan masuk adalah secara percuma." "Tourism Malaysia Lancar Risalah Pelancongan Bertemakan Gastronomi di Sabah dan Labuan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSandakan \u2013 Tourism Malaysia melancarkan risalah pelancongan bertemakan gastronomi yang dinamakan sebagai Sabah & Labuan \u2018SeeEatFood\u2019 Trail Fun Map. Risalah tersebut menyenaraikan restoran-restoran makanan laut di Sabah serta produk-produk pelancongan utama di sekitar Kota Kinabalu, Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Semporna, Tawau dan Wilayah Persekutuan Labuan.\nInisiatif ini merupakan satu daripada usaha pihak Tourism Malaysia untuk menarik pelancong mengunjungi negeri Sabah dan Labuan yang sememangnya terkenal sebagai syurga makanan laut kerana kedudukan geografinya yang strategik dikelilingi oleh Laut China Selatan, Laut Sulawesi dan Laut Sulu. Kedudukan geografi tersebut sekali gus memberi kelebihan dari segi penangkapan serta penjualan hasil laut segar pada harga yang lebih murah berbanding tempat yang lain.\nPengarah Tourism Malaysia Sabah, Cik Ednie Rahma Ab. Rahim berkata, pelancongan gastronomi merupakan satu daripada komponen utama dalam sektor pelancongan domestik yang wajar diberi fokus di Sabah setanding dengan kekayaan warisan budayanya selain produk-produk ekopelancongan.\n\u201cPenerbitan risalah ini diharap dapat menjadi rujukan kepada para pelancong yang berkunjung ke Sabah dan Labuan serta memudahkan mereka membuat pilihan untuk menikmati sajian makanan laut di restoran-restoran yang tersenarai,\u201d ujar Cik Ednie Rahma Ab. Rahim.\nMenurut Cik Ednie Rahma Ab. Rahim, pengguna telefon pintar hanya perlu mengimbas kod QR bagi mendapatkan risalah ini secara digital melalui laman sesawang Tourism Malaysia, www.malaysia.travel, media sosial rasmi Facebook Tourism Malaysia atau di Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).\nMajlis pelancaran risalah Sabah & Labuan \u2018SeeEatFood\u2019 Trail Fun Map yang berlangsung pada 3 Ogos diadakan bersempena lawatan suai kenal (FAM Trip) selama empat hari tiga malam ke Sandakan bermula pada 31 Julai lalu. Lawatan ini disertai 26 peserta yang terdiri daripada 12 wakil media, lima agensi pelancongan dari Persatuan Pelancongan Sabah dan para pegawai dari Tourism Malaysia, Malaysia Airlines dan MASwings.\nDalam lawatan tersebut, para peserta dibawa menjejaki Sandakan Heritage Trail serta menerokai pelbagai produk pelancongan terkenal di sekitar Sandakan seperti Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Rainforest Discovery Centre, Bornean Sun Bear Conservation Centre dan Sungai Kinabatangan." "\u201cSetelah\u201c, \u201cSelepas\u201c dan \u201cSesudah\u201c\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSoalan:\nYang saya tahu ialah perkataan \u201csetelah\u201c, \u201cselepas\u201c dan \u201csesudah\u201c merujuk \u00a0sesuatu yang telah berlaku. Walau bagaimanapun, saya diberitahu bahawa ketiga-tiga perkataan itu mempunyai perbezaan. Bagaimanakah penggunaannya dalam ayat?\n\u00a0\nDaripada:\nAlif Affandi,\nKota Damansara, Petaling Jaya." "Cabaran Basikal Lipat Antarabangsa Langkawi 2022 Semakin Hampir\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Acara Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir, Cabaran Basikal Lipat Antarabangsa Langkawi 2022 (LIFBC 2022) yang bakal berlangsung pada 16 hingga 18 September 2022 mendapat sokongan padu daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Tourism Malaysia, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Kerajaan Negeri Kedah.\n\u201cLebih 1500 peserta dijangka menyertai LIFBC 2022 yang melibatkan penyertaan dari dalam dan luar negara merangkumi Thailand, Indonesia dan Singapura,\u201d kata Zainudin Kadir semasa berucap dalam majlis sidang media dan pelancaran program anjuran LTA, Kumpulan Megaklinik Zahran, Tourism Malaysia, Cuti-Cuti Malaysia, dan Kerajaan Negeri Kedah di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur.\nTambah Zainudin Kadir, sambutan hangat peserta tempatan dan antarabangsa membuktikan bahawa aktiviti basikal lipat berjaya menyemarakkan lagi sektor pelancongan di Langkawi selepas lebih dua tahun sektor pelancongan lumpuh akibat wabak pandemik COVID-19.\n\u201cLIFBC 2022 akan diisi dengan pelbagai aktiviti bermanfaat seperti Tunggang Ceria 30 Kilometer, Daya Tahan 65 Kilometer serta pelbagai pameran dan jualan. Hadiah bernilai lebih RM35 000 dan pelbagai hadiah cabutan bertuah turut menanti peserta di samping setiap peserta akan diberikan jersi eksklusif LIFBC, pingat LIFBC, sijil penyertaan dan beg cenderahati,\u201d jelas Zainudin Kadir.\nSelain berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah yang menarik, peserta juga berpeluang menghayati keindahan destinasi pelancongan popular di sepanjang laluan LIFBC 2022 diadakan seperti di Pantai Cenang dan di sekitarnya.\nDalam ucapan alu-aluan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Megaklinik Zahran, Dato\u2019 Mohd. Nafidz Abdul Razak, beliau mengakui bahawa Pulau Langkawi memiliki banyak keistimewaan yang boleh dinikmati, selain sesuai dijadikan tempat untuk menjayakan hasrat projek pelancongan perubatan.\nPegawai Daerah Langkawi, Dato\u2019 Haji Abdul Gafar Yahya pula menyatakan keterujaannya dengan penganjuran LIFBC 2022. Justeru, beliau sanggup datang ke Kuala Lumpur dari Langkawi walaupun baharu pulang daripada mengerjakan ibadat haji.\n\u201cSaya yakin masih banyak sudut dan bahagian di Pulau Langkawi yang boleh dimanfaatkan dalam usaha membina semula sektor pelancongan selepas penularan pandemik COVID-19, sekali gus memajukan ekonomi negara. Saya juga turut berasa bangga kerana LIFBC 2022 dianjurkan oleh anak tempatan,\u201d kata Dato\u2019 Haji Abdul Gafar Yahya yang diberikan penghormatan melancarkan LIFBC 2022.\n\nSelain LIFBC 2022, beberapa buah lagi acara pelancongan bertaraf antarabangsa akan turut mengisi kalendar pelancongan Langkawi sehingga penghujung tahun 2022. Antaranya termasuklah Pertunjukan Kereta Klasik Antarabangsa Langkawi 2022 yang berlangsung pada 9 hingga 11 Disember dan Blues Rock Antarabangsa Langkawi ASEANA 2022 (LIBRA 22) yang berlangsung pada 17 hingga 19 Disember 2022.\nTurut hadir pada majlis sidang media dan pelancaran LIFBC 2022 ialah Presiden Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia, Datuk Azlie Halim dan penyanyi kumpulan Blues Gang, Mohd Arif Kendut (Ito Mohd).\nKepada sesiapa yang berminat mahu menyertai LIFBC 2022, pendaftaran untuk penyertaan masih dibuka lagi. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila hubungi talian 019 5553 716 atau 019 2883 716." "Van Bukan Sekadar Kucing\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKota Van terletak di tenggara Turkiye, iaitu bahagian paling timur yang bersempadan dengan Republik Iran. Kota ini adalah kota purba yang pernah menjadi sebahagian daripada tamadun awal Mesopotamia. Menurut dapatan sejarah, kota Van mula diduduki sekitar tiga ribu tahun sebelum Masihi, iaitu sekitar tahun 900 Sebelum Masihi. Kaum Urartian merupakan kaum pertama yang mula membangunkan ibu kota di Van yang dikenali sebagai Tushpa. Pada zaman itu, kota Van dikenal sebagai Biana dan sejak ribuan tahun dahulu, kota Van telah diduduki dan ditadbir oleh pelbagai tamadun dan kerajaan. Kini Van berkembang menjadi kota yang maju dan pesat membangun.\nPenulis tiba di Van dari kota kecil yang bernama Khoy yang terletak di sebelah Iran. Perjalanan menaiki dolmush sejauh 75 kilometer hingga ke pintu sempadan Turkiye yang bernama Kapikoy. Perjalanan yang Panjang terasa singkat kerana disajikan dengan pelbagai pemandangan luar bandar, kawasan pertanian dan bukit-bukau. Buat makluman pembaca, dolmush merupakan sebuah van yang besar dan boleh memuatkan sehingga tiga belas orang penumpang. Dolmush kurang ditemui di Asia, namun kenderaan ini mudah dilihat dan diakses di negara-negara Eropah.\nKompleks kastam dan imigresen Kapikoy menyambut kunjungan penulis ke Turkiye dengan penuh santun dan susila. Pemeriksaan kastam lancar walaupun pasport penulis perlu diperiksa berulang-ulang kali. Hal ini untuk memastikan tiada kes pemalsuan pasport antarabangsa yang banyak berlaku di Asia. Perjalanan diteruskan ke kota Van yang sejauh seratus kilometer sahaja lagi. Pemandangan di sekitar bertukar dari bukit bukau kepada dataran lapang. Penulis menyaksikan terdapat banyak kawasan perkebunan, desa-desa, pekan kecil dan dataran tanah berbatuan yang tandus.\nDolmush yang membawa penulis berhenti di pusat kota Van, iaitu berhampiran sebuah kafe dan kedai foto. Seterusnya, penulis berjalan kaki kira-kira lapan minit menuju ke hotel penginapan. Dari segi populasi, majoriti penduduk Van adalah berbangsa Kurdish dan penganut agama Islam beraliran Sunni. Bangsa Kurdish merupakan kaum minoriti yang terbesar di Turkiye dan telah sekian lama mereka memperjuangkan hak pribumi dan kuasa autonomi. Penulis bercadang mahu singgah di kota ini untuk beberapa hari sebelum meneruskan perjalanan ke kota Dogubeyazit di utara.\nBagi pencinta kucing, baka kucing Turkish Van sudah tidak asing lagi. Baka kucing yang eksotik ini sememangnya mempunyai ramai peminat dan juga dikenali dengan nama \u201cKucing Van\u201d. Menurut sejarah, baka kucing ini berasal dari kota Van dan pada masa ini, kucing spesies Turkish Van mudah didapati di seluruh dunia.\nCiri-ciri fizikal yang menyerlah dan ketara pada kucing ini adalah mempunyai sepasang mata yang berlainan warna, iaitu biru dan kuning. Kebanyakan kucing spesies Turkish Van berbulu putih gebu dan hujung ekornya berbulu kembang. Ada juga kucing daripada spesies ini yang berbulu putih bercampur coklat cerah. Populariti kucing spesies Turkish Van setaraf dengan kucing-kucing eksotik yang lain seperti Persian, Siamese, Angora, Maine Coon dan British Shorthair.\nVan Kale atau Van Fortress pula merupakan lokasi yang wajib dilawati apabila berkunjung ke kota Van. Lokasinya berhampiran dengan Tasik Van. Van Kale adalah sebuah kubu pertahanan yang melindungi penduduk tempatan daripada serangan musuh dan penjajah. Menurut sejarah, kubu ini mula dibina oleh kaum Urartian pada tahun 830 Sebelum Masihi.\nPada era pemerintahan empayar Turki Uthmaniyah, sebuah masjid telah didirikan di dalam kubu Van Kale bagi tujuan kemudahan untuk beribadat. Penulis mendapati saiz kubu tersebut sangat besar, kukuh dan lokasinya juga amat strategik. Sebahagian kecil kubu tersebut telah rosak akibat kesan peperangan dan bencana gempa bumi. Gempa bumi sudah menjadi fenomena yang biasa berlaku di Turki kerana negara tersebut terletak dalam kawasan aktif gempa bumi.\nTasik Van pula merupakan tasik yang terbesar di Turki. Tasik Van yang berkeluasan 3755 kilometer persegi tersebut boleh dilihat dari angkasa lepas kerana saiznya yang sangat luas. Pada tahun 2017, sekumpulan penyelam telah menemukan sebuah istana purba di dasar Tasik Van. Dipercayai istana purba yang diperbuat daripada batu tersebut berusia tiga ribu tahun dan merupakan antara binaan tinggalan kerajaan Urartian. Di tebing Tasik Van juga terdapat tinggalan-tinggalan sejarah seperti runtuhan istana, masjid, kuil dan gereja tinggalan kerajaan Medes, Saljuk, Parsi, Uthmaniyah dan Armenia.\nPenulis mengambil kesempatan bersiar-siar di kota purba ini. Di pusat bandar, penulis singgah sebentar di pejabat informasi pelancongan untuk mendapatkan serba sedikit maklumat tentang kota ini. Penulis juga membawa pulang beberapa brosur, peta dan risalah untuk menambahkan ilmu pengetahuan. Kemudian penulis mengisi perut di restoran Burger King yang terletak berdekatan pejabat informasi pelancongan tersebut. Harga makanan dan minuman agak murah, iaitu 14 Lira (RM5) untuk dua burger, satu pek kentang goreng dan segelas air kordial oren. Pada keesokan hari, penulis mencuba pula makanan tradisional masyarakat Turki seperti sup Chorba, roti piza, baklava, kebab, manisan dan minuman Chai (Teh O Turki). Pada pandangan penulis, kota Van adalah kota yang makmur, murah dan tenang mungkin kerana lokasinya yang agak terpencil dan jauh dari kota-kota besar seperti Istanbul, Ankara mahupun Tehran. Allaha Usmarladuk." "Magic of The Night 2022 Semarakkan Industri Pelancongan dan Kebudayaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nMelaka \u2013 Program Magic of The Night (MOTN) 2022 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka berlangsung selama tiga hari, bermula dari 5 Ogos hingga 7 Ogos 2022 di Dataran Sungai Melaka, Melaka.\nMOTN 2022 merupakan satu daripada inisiatif MOTAC untuk menyemarakkan kegiatan ekonomi di negeri Melaka terutamanya kepada para penggiat industri pelancongan, seni, budaya dan warisan. Pemilihan Melaka sebagai MOTN 2022 kerana negeri ini sememangnya terkenal sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan kepelbagaian budaya serta adat yang bersesuaian ditonjolkan kepada seluruh Keluarga Malaysia.\nYang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam bersama dengan Ketua Menteri Melaka, Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali menyempurnakan perasmian acara kemuncak MOTN 2022.\nMenurut YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali, program MOTN 2022 dapat memberi impak yang besar dalam menyerlahkan seni dan budaya Keluarga Malaysia. Selain itu, program MOTN 2022 bukan sahaja dapat menghangatkan kembali pelaksanaan aktiviti secara fizikal, malah turut merancakkan kembali perkembangan ekonomi dan industri pelancongan di negeri Melaka.\nTambah beliau lagi, MOTN 2022 juga turut mempromosikan industri seni dan budaya tempatan dan kepelbagaian kaum sebagai satu produk pelancongan yang boleh diangkat dan dimartabatkan sehingga ke peringkat antarabangsa.\n\u201cFestival seumpama ini dapat memberi impak kepada sektor pelancongan negara khususnya negeri Melaka yang dapat menarik lebih ramai pelancong merangkumi dalam mahupun luar negara. Di samping itu, MOTN 2022 yang mengaktifkan semula persembahan seni budaya tempatan juga dapat mengembalikan kemeriahan warna warni Keluarga Malaysia,\u201d ujar Timbalan Menteri MOTAC, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Dr. Santhara J.P dalam ucapan alu-aluannya.\nPelbagai pengisian menarik boleh dinikmati oleh para pengunjung yang datang memeriahkan MOTN 2022 sepanjang tiga hari program berlangsung. Antaranya termasuklah program Tourism Career Fair, Festival Kota Selatan, Perasmian Galeri Warisan Kota Melaka & Pelancaran Buku Warisan Orang Hidup (WAKOH), Magical Melaka Food & Fruit Fest, perarakan bot berhias dan lain-lain lagi.\nFestival Kota Selatan mempamerkan keunikan tiga buah negeri di selatan tanah air, iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan yang melibatkan persembahan kebudayaan seperti teaterikal silat, joget, zapin dan lain-lain.\nTourism Career Fair pula merupakan satu daripada langkah proaktif yang dilaksanakan MOTAC untuk membantu para penggiat industri pelancongan yang mengalami isu kekurangan pekerja akibat kesan pandemik COVID-19.\nPerasmian Galeri Warisan Kota Melaka & Pelancaran Buku Warisan Kebangsaan Orang Hidup (WAKOH) pula diadakan untuk mempromosi Galeri Warisan Kota Melaka sebagai produk pelancongan baharu dan pusat rujukan di negeri Melaka.\nManakala Magical Melaka Food & Fruit Fest pula memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai makanan tradisi serta produk makanan yang terdapat di Melaka. Pelbagai aneka juadah makanan disajikan, demonstrasi melibatkan pelbagai jenis masakan serta pameran replika durian terbesar di Malaysia turut berlangsung untuk direkod dalam Malaysia Guinness Book of Record.\nKemuncak MOTN 2022 adalah Malam Gala Magic of The Night 2022 dengan tema \u201cMaddana di Bumi Bertuah\u201c yang diadakan pada 6 Ogos 2022 bermula pukul 8.30 malam. Yang paling menarik pada acara Malam Gala Magic of The Night 2022 adalah persembahan dan perasmian yang diadakan di atas pentas terapung yang dibina oleh MOTAC di Dataran Sungai Melaka. Acara Malam Gala Magic of The Night 2022 boleh ditonton secara dalam talian melalui laman Facebook MOTAC.\nTurut hadir memeriahkan majlis ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum, Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis." "Integriti Tunjang Pendidikan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPutrajaya \u2013 Majlis Perasmian Penutupan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Siri 31 Bil. 3 Tahun 2022 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berlangsung pada 09 Ogos 2022 (Selasa) di Auditorium Kompleks E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya menjadi penanda aras dalam usaha mewujudkan dan memantapkan integriti warga KPM berpaksikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.\nMajlis perasmian penutupan ini dianjurkan oleh Unit Integriti, KPM dengan kerjasama Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan dirasmikan oleh Yang Berhormat (YB) Datuk Mohamad Haji Alamin selaku Timbalan Menteri Pendidikan II Malaysia.\nMenurut Datuk Mohamad Haji Alamin, KPM merupakan kementerian yang pertama di Malaysia yang melaksanakan kursus ini secara berkelompok (in- house) khusus untuk para pegawai KPM. Hal ini menunjukkan keseriusan KPM dalam menangani isu-isu integriti, salah guna kuasa dan risiko rasuah pada peringkat kementerian.\nDatuk Mohamad Haji Alamin berkata, Sektor Integriti (SI) ditubuhkan pada peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan lantikan pegawai khusus dibuat di setiap bahagian bagi membantu Unit Integriti (UI) dalam penyelarasan pengurusan aduan, tindakan pengesahan dan pengesanan serta proses tatatertib.\nTambah Datuk Mohamad Haji Alamin lagi, amat penting pengurusan ekosistem dan tadbir urus pendidikan negara ini dapat dilaksanakan secara telus dan berintegriti. Sekiranya setiap peruntukan yang dipertanggungjawabkan dapat diuruskan dengan baik dan berintegriti tanpa sebarang ketirisan, maka tidak mustahil sistem pendidikan negara mampu mencapai dan berada setaraf dengan negara-negara maju.\nJusteru, bagi mencorakkan satu sistem yang kukuh dan telus, kita memerlukan individu-individu yang berintegriti tinggi bagi menggerakkan usaha transformasi supaya perkara yang diaspirasikan dapat dilaksanakan seperti yang direncanakan.\nMenurut Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Dato\u2019 Haji Idris Zaharudin, seramai 331 peserta Program CeIO Awam, GLC dan Swasta yang menjalani program ini sejak tahun 2019 dan 2020 telah diluluskan pentauliahan pada tahun 2021 dan seramai 316 orang peserta juga bakal ditauliahkan pada bulan September 2022 ini. Justeru, seramai 647 orang peserta dijangka akan menerima sijil pentauliahan pada majlis Konvokesyen CeIO pada bulan Oktober tahun ini.\n\u201cKPM telah mencipta sejarah dengan menjadi kementerian yang pertama melaksanakan program CeIO secara \u201cin house\u201d bersama dengan MACA yang melibatkan seramai 57 orang pegawai kanan. Hal ini menunjukkan KPM komited dalam memartabatkan nilai integriti khususnya kepada warga KPM. Program CeIO ini dilihat selari dengan visi dan misi KPM untuk membangunkan potensi individu bagi melahirkan insan terdidik,\u201d jelas Dato\u2019 Haji Idris Zaharudin.\nDato\u2019 Haji Idris Zaharudin turut berkata, pelaksanaan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) juga mendedahkan para peserta dengan modul-modul berkaitan pengurusan integriti, perundangan dan peraturan, pematuhan dan pemantauan dan pengurusan risiko rasuah.\nDi samping itu, para peserta juga perlu melaksanakan Enhancing Integrity Project (EIP), iaitu suatu projek berkaitan pembudayaan integriti yang dikendalikan sepenuhnya oleh para peserta program CeIO berdasarkan kreativiti dan inovasi yang melibatkan kolaborasi strategik pelbagai pihak. Program EIP ini merupakan pra syarat utama peserta CeIO untuk melayakkan diri mereka ditauliahkan sebagai Pegawai Integriti Bertauliah oleh Lembaga Pengiktirafan Pegawai Integriti Bertauliah (LPPIB).\nSatu langkah penting bagi KPM adalah meletakkan pegawai-pegawai yang bakal ditauliahkan sebagai CeIO menjadi \u201cmata dan telinga\u201d dalam memastikan pengurusan perolehan dan pembangunan yang dilaksanakan ditadbir dengan baik untuk mengurangkan risiko berlakunya ketirisan. Oleh sebab itu, menjadi keperluan bagi KPM untuk meningkatkan peranan 57 pegawai yang lahir daripada program CeIO ini sebagai ejen untuk memperkasakan peningkatan integriti, ketirisan dan pencegahan rasuah.\nTurut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Setiausaha KPM, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato\u2019 Hj. Pkharuddin Hj. Ghazali." "Alena Murang dan Video Muzik Filem Pendek Put Burui\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Penyanyi dan pemuzik sape, Alena Murang melancarkan video muzik berjudul Put Burui bersempena dengan sambutan Hari Orang Asal Sedunia.\nVideo muzik Alena Murang memaparkan jalinan kuat antara muzik, seni Orang Ulu, hutan belantara dan jaringan sungai. Video muzik tersebut dirakamkan di Semadang, Sarawak hasil cetusan ilham daripada warisan ilmu yang diturunkan oleh nenek moyang suku kaum Dayak Kelabit.\nPut Burui adalah sebuah filem pendek dan video muzik yang dihasilkan berdasarkan lagu tradisional kaum Kenyah yang mengiringi tarian kenyalang dipersembahkan oleh kaum wanita. Meskipun tarian tersebut merupakan aspek utama dalam video muzik tersebut, tetapi Kirip (gubahan bulu burung enggang) yang lazim digunakan sebelum ini digantikan dengan gubahan daun paku pakis bagi membangkitkan kesedaran tentang pemeliharaan alam semula jadi.\nSebagai usaha untuk melestarikan penjagaan alam semula jadi, Alena Murang turut menggayakan busana yang diperbuat daripada serat asli dalam video klip muzik tersebut, terutamanya baju yang diperbuat daripada Pua Kumbu berwarna merah (fabrik tenunan tangan suku Iban daripada serat dan pewarna semula jadi) rekaan pereka fesyen ternama kelahiran Sarawak, Edric Ong dan baju sulaman tangan berona perang muda menggunakan teknik songket Sarawak oleh para artisan Tanoti. Pakaian penari latar juga dihasilkan dengan seratus peratus daripada serat tumbuhan.\nSelain itu, Alena Murang turut mengenakan perhiasan yang diperbuat daripada biji-bijian dan kulit cangkerang ciptaan pereka Edric Ong, Nasha Prive dan penggubah aksesori orang asli Temuan, Leny Maknoh. Setiap butiran perhiasan disusun oleh pakar gaya dan pengasas Hellostylar, Saerah Ridzuan.\nMenurut Saerah Ridzuan, gaya yang diketengahkan dalam video muzik Put Burui diinspirasikan daripada keunikan alam semula jadi. Warna tanah menjadi tema warna dalam video muzik tersebut yang boleh dilihat pada sarang buatan manusia, batuan bertekstur dan pasiran sungai.\n\u201cAksesori yang menghiasi Alena Murang dan para penari diperbuat daripada bahan organik dan asli seperti buah jelai, batang bemban, serat daun dan kulit kayu. Beliau juga mengenakan busana berwarna putih sebagai simbol kesucian alam semula jadi dan merah yang melambangkan kegagahan serta kekuasaan alam demi kemandiriannya,\u201d jelas Saerah Ridzuan.\nPenghasilan video muzik ini dijayakan oleh sepasukan anak muda kelahiran Sarawak, karya Zass Puravida dan Kanid Studio di bawah arahan Daphne Charmain Thian. Menurut Daphne Charmain Thian, beliau mahu memaparkan kekayaan alam semula jadi seperti yang biasa dilihat dalam dokumentari. Bahkan, manusia merupakan saksi keajaiban alam yang mampu wujud tanpa sebarang bantuan manusia. Alam tidak memerlukan manusia sebagaimana manusia amat bergantung kepadanya.\nAlena Murang pula berkata, penyediaan peluang dan ruang untuk berkarya kepada para belia amat penting. Pandangan beliau ini disokong penuh oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak yang merupakan antara penaja untuk penghasilan video muzik tersebut.\nDalam sidang media pelancaran video muzik Put Burui, Alena Murang menjelaskan bahawa Orang Asal di seluruh dunia masih mempunyai hubungan yang sangat istimewa dengan alam semula jadi.\nJelas Alena Murang lagi, beliau bukan hanya mewarisi seni, muzik dan bahasa suku kaum Dayak Kelabit, tetapi juga warisan alam semula jadi yang harus dipertahankan sebagai khazanah yang tidak ternilai.\nAntara lagu yang dimuatkan dalam album terbaharu Alena Murang adalah Sky Songs yang digubah oleh Joshua Maran dan diperindah dengan tiupan seruling Niko Coyez serta petikan sape Alena Murang.\nSelaras dengan tema memperjuangkan alam sekitar, Alena Murang bekerjasama dengan Bogus Merchandise untuk menghasilkan kemeja-T cetakan saring sutera menggunakan kemeja-T terpakai yang dipilih dengan teliti oleh beliau sebagai produk jualan bersempena dengan pelancaran video muzik Put Burui. Produk Put Burui kini boleh ditempah melalui laman sesawang Bogus Merchandise (www.bogusmerchandise.com)" "Manuskrip Melayu Mengangkat Martabat Sejarah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nTanjung Malim \u2013 Pameran dan Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu (PAMM) 2022 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) berlangsung selama tiga hari bermula dari 9 hingga 11 Ogos 2022.\nPAMM 2022 yang dengan tema \u201cManuskrip Perundangan Melayu: Korpus Warisan Tempatan dan Dunia\u201d adalah antara usaha pemartabatan dan pelestarian dokumen bertulis warisan bangsa Melayu dalam bidang undang-undang, yakni manuskrip Hukum Kanun Melaka (MSS 23) koleksi PNM.\nPersidangan yang berlangsung selama tiga hari dibahagi kepada lapan sesi pembentangan yang melibatkan 23 pembentang dari dalam dan luar negara. Antara pembentang yang terlibat ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu, Universiti Teknolgi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz dan Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Dr. Ibrahim Haji Bakar.\nPersidangan tersebut yang merupakan antara program utama PNM dirasmikan oleh Timbalan Menteri MOTAC, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar pada 9 Ogos lalu. Menurut beliau, PAMM 2022 bertepatan dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menerusi pemuliharaan warisan dan budaya.\n\u201cDaerah Muallim tempat diasaskan UPSI dilihat berpotensi untuk dijadikan bandar pelancongan pendidikan. Selain itu, pemilihan menganjurkan PAMM 2022 pada bulan kemerdekaan bersempena menyambut hari kemerdekaan negara dengan semangat kemerdekaan yang dibina selama 65 tahun berteraskan prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan amat tepat dan sesuai,\u201d ujar Datuk Seri Dr. Santhara J.P dalam ucapannya sewaktu majlis perasmian persidangan.\nMenurut Datuk Seri Dr. Santhara Kumar, persidangan bertemakan \u201cManuskrip Perundangan Melayu: Korpus Warisan Tempatan dan Dunia\u201d turut berperanan menggalakkan Keluarga Malaysia terutama golongan muda supaya menghargai manuskrip sebagai manifestasi kearifan ilmuwan Melayu Islam selain platform para penyelidik dari seluruh dunia berwacana dan menjalin kerjasama strategik.\nTambah Datuk Seri Dr. Santhara Kumar, persidangan ini memainkan peranan penting bagi merealisasikan hasrat untuk menarik golongan muda supaya menghargai manuskrip Melayu sebagai antara manifestasi kearifan tempatan dan jati diri bangsa Melayu serta memberi impak yang lebih besar pada peringkat global selain berfungsi melaksanakan perolehan, pendokumentasian, pemeliharaan dan penggunaan manuskrip Melayu.\nTurut hadir bagi memeriahkan majlis ialah Ketua Pengarah PNM, Salasiah Abdul Wahab dan Naib Canselor UPSI, Profesor Dato\u2019 Dr. Md. Amin Md. Taff. Siaran majlis perasmian dan setiap sesi pembentangan sepanjang berlangsungnya PAMM 2022 turut boleh ditonton melalui platform Youtube PNM, https://www.youtube.com/watch?v=oT1kiDD3Nz4" "Menyingkap Cabaran Pendidikan Norlis Ismail\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nNorlis Ismail merupakan pensyarah pengiklanan yang bertugas di Universiti Tun Abdul Razak (UTAR), Kampar, Perak. Beliau yang mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang seni menyatakan bahawa sejak kecil lagi, dirinya sememangnya tertarik dan terpikat dengan sesuatu yang bersifat visual. Justeru, setelah tamat sekolah menengah, Norlis Ismail melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam bidang seni bagi memenuhi cita-citanya sebagai seorang yang bergiat aktif dalam bidang seni visual.\nNorlis Ismail mula jatuh cinta kepada dunia pengiklanan sewaktu sedang menyambung pelajaran dalam jurusan fotografi di UiTM. Hal ini berlaku kerana beliau sering tertarik dengan imej foto yang menjadi subjek utama dalam pengiklanan tidak kira sama ada iklan bercetak mahupun iklan yang tersiar di paparan kaca televisyen mahupun Internet. Pada pandangan beliau, imej yang ditonjolkan sangat kreatif, memukau mata yang memandang serta menarik minat sesiapa sahaja yang melihatnya.\nRentetan itu, Norlis Ismail mula mempelajari selok belok fotografi pengiklanan dan mula memahami seni di sebalik pembikinan sesuatu imej yang berkaitan dengan iklan. Menurut Norlis Ismail, sesuatu imej yang berjaya perlu melalui pelbagai proses suntingan dan penapisan serta bukan sekadar menekan butang kamera sahaja.\nHakikatnya proses fotografi perlu bermula dengan sesi perbincangan tentang konsep pengiklanan tersebut merangkumi lakaran awal, sesi kritik dan kemudian barulah bermula dengan sesi pengembaraan. Aspek pencahayaan memainkan peranan yang amat penting kerana gambar yang cantik dapat dihasilkan dengan penggunaan cahaya yang betul di samping sudut pandang kamera yang kreatif. Kesan khas seperti gabungan warna serta bayang-bayang akan membangkitkan mood sesuatu pengiklanan, apatah lagi jika iklan tersebut berkaitan dengan peragaan busana.\nBercerita tentang tip dalam fotografi periklanan pula, Norlis Ismail menyatakan bahawa minimalis adalah istilah yang paling sesuai untuk menggambarkan dunia fotografi pengiklanan. Hal ini kerana gambar yang ringkas tetapi kreatif merupakan kunci utama kepada kejayaan sesuatu gambar yang dihasilkan dan proses penghasilannya merupakan satu daripada cabaran utama yang perlu ditempuhi oleh setiap pencinta seni fotografi.\nBeralih tentang pengalaman mengajar sewaktu pandemik COVID-19 melanda negara pula, Norlis Ismail berkata, situasi tersebut sangat sukar untuk ditempuhi kerana pertama kali berlaku dan memberi tekanan yang tinggi kepada dirinya dan para pelajar. Situasi tersebut bukan sahaja ditempuhi oleh dirinya seorang sahaja, bahkan turut ditempuhi oleh semua golongan pendidik sama ada di sekolah mahupun pusat pengajian tinggi.\nMenurut Norlis Ismail, hal tersebut berlaku kerana semua metodologi pengajaran dan pembelajaran (PdP) perlu ditukar daripada sesi mengajar secara fizikal kepada sesi mengajar secara dalam talian. Justeru, banyak perkara dan proses yang perlu diubah suai agar sesi PdP dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Selain itu, kelemahan capaian Internet serta kekurangan peranti elektronik seperti komputer riba, telefon pintar dan komputer juga merupakan antara cabaran besar yang tidak boleh ditangani secara berseorangan sepanjang pelaksanaan sesi PdP sewaktu pandemik COVID-19 berlaku.\nPemahaman para pelajar tentang topik yang diajar juga agak sukar untuk dinilai kerana pelajar tidak mengikuti sesi PdP secara bersemuka. Masalah ini ditambah dengan sikap para pelajar yang sering menutup kamera supaya tidak dapat dilihat dan dipantau. Natijahnya, proses PdP semakin bertambah sukar.\nKerenah pelajar juga pelbagai ragam dan berbeza-beza antara satu sama lain. Golongan pelajar yang aktif dan sering bertanya, mereka akan mengajukan pelbagai soalan, dan bagi golongan pelajar yang pendiam pula, mereka akan terus mendimkan diri tanpa sebarang respons jika tidak diajukan sebarang soalan. Hal ini menjadikan golongan pendidik seperti pensyarah atau guru berasa tertekan dan terbeban kerana tidak mengetahui reaksi dan tahap kefahaman pelajar. Jika mengajar secara bersemuka di dalam kelas, maka situasi dan kekangan ini lebih senang untuk diatasi.\nNorlis Ismail juga berpendapat bahawa kaedah PdP secara bersemuka merupakan kaedah yang paling terbaik dari sudut pendidikan. Manakala kaedah PdP secara dalam talian pula hanya sesuai dilaksanakan sewaktu berlaku masalah seperti penularan wabak atau pandemik yang mengekang dan membataskan proses PdP secara bersemuka.\nTidak adil untuk meneruskan kaedah PdP secara dalam talian kerana akan merencatkan dan mengganggu proses pendidikan, bahkan semua pihak berasa tidak selesa jika kaedah PdP secara dalam talian diteruskan pada masa depan meliputi golongan pensyarah, ibu bapa dan pelajar.\nBanyak masalah berkaitan PdP secara dalam talian tidak dapat diselesaikan oleh pihak pendidik terutamanya masalah yang membabitkan keputusan peperiksaan pelajar kerana kesukaran menilai prestasi pelajar secara dalam talian. Bahkan terdapat beberapa kes yang berkaitan dengan pelajar yang meninggal dunia akibat tidak tahan dengan beban tekanan dan beban tugasan yang diberikan.\nTuntasnya, walaupun berhadapan dengan pelbagai kesukaran, Norlis Ismail tetap positif menghadapi pelbagai ujian kerana sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mendidik para pelajar. Selain itu, penularan pandemik COVID-19 yang melanda negara membuka mata para pendidik agar sentiasa meningkatkan dan mengembangkan kemahiran penguasaan ilmu dalam bidang teknologi kerana ilmu tersebut merupakan satu kaedah dan teknik yang bakal mengubah kaedah pengajaran konvensional." "Batik Menjulang Industri Seni Kraf Tangan Negara\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSerdang \u2013 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) pada hari ini mengadakan Peragaan Fesyen Batik Malaysia sempena kempen \u201cIni Batik Malaysia\u201d di Dewan C, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor. Peragaan fesyen ini dihadiri Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Santhara J.P, Timbalan Menteri MOTAC.\nKempen \u201cIni Batik Malaysia\u201d yang bermula pada 1 Julai 2022 adalah inisiatif PKKM dalam memartabatkan industri kraf batik tempatan. Hal ini adalah kesinambungan daripada pengisytiharan Hari Batik Malaysia pada 3 Disember 2021 dan sambutan Hari Batik Malaysia yang akan disambut pada 3 Disember setiap tahun. Objektif kempen ini untuk memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat mengenai batik Malaysia serta menggalakkan pemakaian batik Malaysia.\nAntara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang kempen ini berlangsung adalah Peragaan Fesyen Batik Malaysia yang mengetengahkan batik alternatif yang menggunakan teknik halangan warna ke atas fabrik seperti batik cetakan kreatif (Ecoprint), batik clay dan batik linut. Batik alternatif bertepatan dengan konsep agropelancongan kerana penghasilannya yang menggunakan tumbuh-tumbuhan dan tanah. Selain itu, turut diperagakan juga adalah batik terap (Blok) dan batik lukis (Canting) yang bermotifkan kepelbagaian identiti seni dan budaya masyarakat Malaysia.\nBatik cetakan kreatif (Ecoprint) merupakan salah satu cara penghasilan reka corak secara semula jadi daripada daun dan bunga yang menggunakan teknik gulungan atau ketukan supaya warna dan kesan yang terhasil diserap pada permukaan kain. Manakala batik clay (tanah liat) dan batik linut (kanji sagu) adalah hasil projek kajian inovasi menggunakan bahan semula jadi sebagai bahan penghalang warna dalam penghasilan reka corak batik. Inovasi penggunaan tanah liat dan kanji sagu yang mesra alam merupakan bahan alternatif pengganti lilin batik sedia ada.\nDi samping itu, batik terap (Blok) atau batik cop adalah teknik aplikasi lilin batik menggunakan blok atau sarang batik bagi menerap, mengecap dan mencetak reka corak mengikut susunan ke atas permukaan fabrik. Penghasilan batik lukis (Canting) pula adalah teknik aplikasi lilin batik menggunakan alat canting bagi melukis reka corak ke atas permukaan fabrik.\nPeragaan Fesyen Batik Malaysia pada hari ini menampilkan sebanyak 48 pasang pakaian batik Malaysia yang terdiri daripada koleksi batik cetakan kreatif (ecoprint), batik clay, batik linut, batik terap dan batik lukis. Koleksi-koleksi ini diperagakan dengan rekaan pakaian batik yang memenuhi cita rasa fesyen terkini. Peragaan fesyen diadakan sebanyak dua sesi, iaitu sesi pertama pada pukul 12.00 tengah hari hingga 1.00 petang dan sesi kedua pula pada pukul 3.00 petang hingga 4.00 petang. Pengunjung yang berminat membeli pakaian dan produk batik boleh berkunjung ke reruai Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn. Bhd (KARYANEKA), iaitu anak syarikat PKKM terletak di Pavillion Agrotourism Dewan C dan Dewan D serta melalui usahawan kraf yang berada di pavilion negeri.\nSelain itu, produk kraf batik Malaysia juga boleh dibeli melalui platform pemasaran digital MYCRAFTSHOPPE, Facebook E-Kraf Bazar dan portal KARYANEKA, iaitu www.karyaneka.com.my. Inisiatif ini membuka peluang kepada usahawan dan komuniti kraf untuk mempromosi dan memasarkan hasil produk kraf mereka dengan lebih mudah. PKKM sentiasa mempergiat usaha untuk membantu usahawan dan komuniti kraf dalam meningkat pengeluaran serta memperluaskan pasaran produk kraf tempatan secara lebih efektif mengikut arus perdana.\nSemoga kempen \u201cIni Batik Malaysia\u201d dapat memberi kesedaran, pengetahuan dan menyemai jati diri identiti Keluarga Malaysia menerusi pemakaian batik Malaysia. Seterusnya usaha ini mampu melonjakkan permintaan terhadap produk kraf batik negara sekali gus meningkatkan pendapatan usahawan dan komuniti kraf." "Pos Malaysia Mengabadikan Lima Hiasan Kepala Tradisi Lelaki dalam Setem Khas\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pos Malaysia Berhad meneruskan inisiatif untuk memperkenalkan kebudayaan dan kesenian negara kepada Keluarga Malaysia dengan mengabadikan hiasan kepala tradisi lelaki yang terkenal di Malaysia dalam bentuk setem khas.\nKeluaran setem khas lima hiasan kepala tradisi lelaki yang meliputi empat etnik terkenal di Malaysia merupakan koleksi bertema yang ketujuh bagi tahun ini selepas tema Bunga Boleh Dimakan, Kuih Tradisional, Hidupan Liar Terancam, Air Terjun, Perahu Tradisional dan 50 Tahun Bandar Raya Kuala Lumpur.\nMenurut Pos Malaysia Berhad, hiasan kepala tradisional lelaki tidak semestinya hanya sekadar hiasan semata-mata kerana setiap perincian yang ada pada setiap satunya membawa makna, fungsi dan identiti yang tersendiri. Bahkan, penggunaan hiasan kepala tersebut merangkumi istiadat diraja, upacara masyarakat tempatan dan kini mula meresapi gaya fesyen terkini.\nLima hiasan kepala tradisi lelaki yang diabadikan dalam setem khas tersebut adalah tanjak atau tengkolok, tempok, siga, lavung tepo atau dok dan ketapu. Setem khas tanjak atau dikenali juga sebagai tengkolok yang merupakan hiasan kepala tradisi bagi kaum majoriti Melayu dijual dengan nilai 70 sen sekeping. Tanjak atau tengkolok lazimnya dipakai sewaktu program perkahwinan dan perayaan tertentu.\nSetem tempok yang merupakan hiasan kepala tradisi lelaki yang agak popular dalam kalangan masyarakat orang Asli di Semenanjung Malaysia turut dijual pada harga 70 sen. Manakala setem siga yang merupakan hiasan kepala tradisi bagi orang lelaki etnik Kadazan di Sabah dan setem lavung tepo atau dok bagi peribumi Orang Ulu di Sarawak dengan harga 80 sen sekeping.\nSetem ketapu pula adalah hiasan kepala yang cukup dikenali dalam kalangan masyarakat Iban di Sarawak dan diabadikan dengan cukup istimewa sebagai lembaran mini dengan sekeping setem bernilai RM5.\nKelima-lima imej hiasan kepala tradisi lelaki tersebut dipaparkan secara cetakan jenis spot sinar ultra ungu dengan set lipatan yang lengkap termasuklah sampul surat hari pertama dan lembaran mini yang dijual pada harga RM50.\nPara pembeli juga akan menerima dua lembaran setem yang berbeza dengan denominasi masing-masing bernilai 70 sen dan 80 sen yang setiap satunya mengandungi 20 keping.\nWarga Keluarga Malaysia yang berminat boleh mendapatkan siri ini di semua pejabat pos besar di setiap ibu negeri dan di 94 cawangan Biro Filateli Pos Malaysia Berhad bermula dari 10 Ogos lalu.\nBagi yang berminat mahu membeli dan mengumpul koleksi setem boleh membuat tempahan pembelian secara dalam talian menerusi pautan laman sesawang rasmi Pos Malaysia Berhad, iaitu https://www.pos.com.my/hiasan-kepala-lelaki-folder-set." "Osman Saaidin Jiwa Seni yang Sentiasa Muda\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPada usia 73 tahun, Osman Saaidin atau lebih dikenali sebagai Osdin masih aktif melukis. Beliau masih giat mengikuti pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh kumpulan-kumpulan pelukis terutama Angkatan Pelukis Kedah (APK) ke merata-rata tempat.\nKini beliau banyak menghabiskan masanya melukis di Bukit Bendera, Pulau Pinang bersama-sama beberapa orang pelukis yang lain. Bukit Bendera adalah destinasi tumpuan pelancongan dan hasil seni lukisan oleh para pelukis tempatan menjadi bahan pameran dan tarikan kepada para pelancong domestik dan luar negara. Usia hanyalah semata-mata nombor dan tidak mampu menghalang sama sekali lelaki yang hebat ini untuk berkarya. Semakin berusia, hasil karyanya semakin matang.\nBaru-baru ini, penulis bertemu dengan Osdin yang sedang melukis di Selama, Perak dalam program \u201cJerayawara Perak Art Trail Jelajah Selama\u201c. Osdin melukis pemandangan Lata Rambung, iaitu sebuah tempat berkelah yang cantik dan masih belum diteroka oleh orang ramai kecuali penduduk sekitar Selama.\nJiwa seninya yang sentiasa muda menjadikan dirinya semakin kuat untuk berkarya. Bekas pesara bomba ini menceburi bidang seni lukis hanya berbekalkan dengan bakat asas sahaja, iaitu berkebolehan melukis.\nOsdin tidak belajar melukis secara formal dalam seni lukis, tetapi pergaulannya yang mesra dan luas bersama dengan para rakan pelukis yang lain terutama dalam persatuan APK menjadikan beliau mudah menimba ilmu seni lukis.\nSewaktu zaman mudanya, Osdin pernah memenangi pertandingan Master Penang Muscle Beach 1986 yang merupakan sebuah acara sukan bina badan. Selain itu, beliau juga merupakan seorang insan yang tekun, fokus dan komited terhadap setiap penghasilan lukisan dan bidang yang diteroka sehingga mencapai dan melebihi tahap kualiti yang ditetapkan. Begitu juga dalam bidang seni, beliau akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kekurangan karya yang dihasilkan serta menambah baik kemahiran dan pencapaian dalam bidang seni.\nSehingga kini, Osdin masih aktif melukis dan menyertai pelbagai aktiviti seni yang dianjurkan di dalam dan luar negara.\nBerikut merupakan antara pencapaian Osdin dalam bidang seni lukis." "INTAN Mencungkil Keterampilan Berbahasa Penjawat Awam\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKUALA LUMPUR \u2013 Penguasaan bahasa sangat penting bagi penjawat awam dalam memberikan khidmat kepada masyarakat Malaysia yang kaya dengan pelbagai bahasa. Bahasa Melayu merupakan identiti teras negara Malaysia dan penjawat awam sewajarnya menggalas tanggungjawab untuk memastikan martabat dan kualiti bahasa Melayu kekal pada peringkat yang tertinggi. Di samping itu, penjawat awam juga perlu melengkapkan diri dengan kemahiran berbahasa Inggeris yang turut memberikan nilai tambah tersendiri terutamanya apabila melangkaui sempadan antarabangsa.\nSehubungan dengan itu, dengan mengambil kira aspek tersebut, Pertandingan Gegar Pidato Piala Pusingan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tahun 2021 yang dianjurkan oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) membawa kelainannya yang tersendiri pada tahun ini apabila dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian. Sebanyak 11 orang pemidato daripada pelbagai agensi dan kementerian telah berentap di pentas akhir pada 19 Ogos 2021 yang bertemakan \u201cBelanjawan 2021: Teguh Kita, Menang Bersama\u201d bagi mengangkat usaha kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19 menerusi wahana bahasa kebangsaan.\nPertandingan ini yang telah memasuki tahun keenam penganjurannya turut menjadi platform untuk mencungkil bakat penjawat awam yang terbaik dalam gaya, teknik dan ilmu pidato sebagai persediaan untuk ke peringkat yang lebih tinggi seperti peringkat kebangsaan dan antarabangsa.\nPada tahun ini, majlis penutupan pertandingan diadakan serentak dengan program Pidato Bahasa Inggeris, anjuran INTAN, iaitu INTAN Stand and Speak: Talk Your Way to The Top 2021, yang mengangkat tema \u201cSpeed, Professionalism, Integrity\u201d dalam perkhidmatan awam.\nMajlis penutupan ini disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, menerusi rakaman video yang disiarkan secara langsung melalui Facebook INTAN Bukit Kiara dan pelantar telesidang Zoom pada hari ini.\nDalam majlis tersebut, Piala Pusingan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dimenangi oleh Encik Wan Zainuddin Ali Aspar daripada Kementerian Pengajian Tinggi yang muncul juara. Manakala naib johan pula milik Encik Fazil Haji Yahaya daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan tempat ketiga disandang oleh Cik Intan Masyitah Mohd Murad daripada Jabatan Perkhidmatan Awam.\nBagi pertandingan Pidato Bahasa Inggeris pula, peserta daripada Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan, iaitu Puan Rafiqha Hanim Mohd Rosli telah dinobatkan sebagai juara. Manakala naib johan dan tempat ketiga pula masing-masing disandang oleh Puan Nur Zurairah Abdul Halim daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia dan Puan Siti Nur A\u2019isyah Abdul Razak daripada Jabatan Tenaga Kerja.\nTerdahulu, Pertandingan Gegar Pidato ini turut ditambah nilainya dengan penganjuran Sesi Penataran Pidato Perkhidmatan Awam yang dihadiri oleh para peserta yang melepasi peringkat saringan secara penyerahan video yang bermula pada 5 Julai 2021. Sesi tersebut bertujuan untuk menyediakan platform bagi penjawat awam untuk mempelajari dan berkongsi ilmu berpidato daripada para pemidato antarabangsa dan kebangsaan yang dilantik sebagai pembimbing dalam sesi kuliah umum, tutorial dan latih amal sebelum melangkah ke pentas akhir pertandingan." "Gombak \u2013 Hulu Langat Geopark Menuju Geopark Kebangsaan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nAmpang \u2013 Pihak Badan Pengurusan Gombak-Hulu Langat Geopark (GHLGp) telah membuat persediaan dan kini sedang menghadapi proses Penilaian GHLGp yang bermula pada 15 hingga 18 Ogos 2022 yang dinilai oleh Jawatankuasa Penilaian Geopark Kebangsaan. Program ini dijalankan selama 4 hari dan melibatkan 13 stesen di Daerah Gombak dan Hulu Langat. Inisiatif ini dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor sejak tahun 2019 dan merupakan langkah permulaan yang signifikan menuju matlamat pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp) pada tahun 2025.\nMenurut Yang Berhormat (YB) Hee Loy Sian, Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Negeri Selangor dalam ucapan perasmian Sesi Penilaian Gombak-Hulu Langat Geopark di Grand Barakah Hotel Ampang, Projek Gombak-Hulu Langat Geopark berperanan besar dalam penjagaan dan pemuliharaan aset alam semula jadi seperti pergunungan, hutan, hidupan flora dan fauna. Khazanah alam dan warisan tersebut perlu dipelihara dan telah memberi manfaat kepada rakyat negeri Selangor saban tahun. Tapak warisan geologi yang dikenali sebagai geotapak berkepentingan kebangsaan, serantau atau antarabangsa dibangunkan secara lestari bagi meningkatkan apresiasi, tahap ekonomi dan nilai budaya penduduk khususnya di negeri Selangor, terutamanya melalui penglibatan komuniti dalam aktiviti berteraskan pelancongan.\n\u201cGombak-Hulu Langat Geopark telah memperkukuhkan komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha memeliharan alam sekitar untuk kesejahteraan rakyat dan seterusnya menyokong usaha menuju pencapaian Sustainable Development Goals (SDG) dan hal ini selari dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) untuk menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri pintar, berdaya huni dan makmur menjelang tahun 2025,\u201d ujar YB Hee Loy Sian.\nAzrul Shah Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor merangkap Pengerusi Badan Pelaksana GHLGp berkata, pelaksanaan Projek GHLGp bertujuan untuk mendapatkan pengiktirafan GHLGp sebagai geopark kebangsaan serta berperanan untuk dijadikan model pendidikan dan program kesedaran awam untuk pemuliharaan warisan geologi, biologi dan kebudayaan. Pendedahan mengenai sektor geopelancongan ini dapat menggalakkan pembangunan mampan dalam kalangan geokomuniti.\nGHLGp merupakan rangkuman 20 geotapak yang dikenal pasti berpotensi serta mempunyai kepentingan geologi adalah aset negara yang sangat bernilai khususnya kepada negeri Selangor. GHLGp yang melibatkan kawasan seluas 112 955 hektar terletak di dua daerah, iaitu Gombak (13 geotapak) dan Hulu Langat (7 geotapak).\nTerdapat beberapa nilai keunikan geologi di geotapak jajaran Gombak-Hulu Langat yang berkepentingan global dan mempunyai nilai signifikan yang tinggi untuk dipelihara. Antaranya seperti yang berikut:\nSasaran utama pelaksanaan projek ini adalah seperti yang berikut:\nKesan pelaksanaan Gombak-Hulu Langat Geopark yang selari dengan RS-1, Pelan Induk Pelancongan Negeri Selangor 2021-2026 dijangka akan menggandakan jumlah kedatangan pelancong, meningkatkan pendapatan serta resit pelancongan, merancakkan ekonomi sekitar dan mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan baharu khususnya dalam sektor pelancongan." "Teater \u201cTanjong\u201d Menyingkap Sejarah Adat Perpatih\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur\u00a0\u2013 Bagi mendidik, menerapkan elemen patriotisme dan sejarah kepada rakyat Malaysia sempena Hari Kebangsaan dan Sambutan Hari Malaysia, Kelab Teater Anak Seni Ahmad Rashidi (ASAR) Negeri Sembilan diberi kepercayaan untuk mementaskan teater bertajuk Tanjong di Istana Budaya, Kuala Lumpur.\nBakal dipentaskan pada 9 hingga 11 September 2022, teater Tanjong dibintangi oleh para pelakon handalan seperti Dato\u2019 Jalaluddin Hassan sebagai Dato\u2019 Perdano Andika, kartunis Ujang dan legenda penyanyi rakyat Negeri Sembilan, Ulong Bakar.\nTeater Tanjong merupakan karya sulung arahan Profesor Dr. Ahmad Rashidi Hasan. Sebagai sutradara dan tulang belakang teater Tanjong, beliau berharap agar naskhah ini mampu memberi gambaran sebenar tentang sejarah budaya adat Perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan.\nSelain dapat memartabatkan seni teater yang semakin terpinggir, teater juga boleh menjadi platform terbaik buat komuniti anak-anak ASAR dan remaja untuk melakukan aktiviti yang berfaedah.\n\u201cObjektif dan matlamat pementasan teater ini untuk memberikan wadah buat anak muda dan kanak-kanak khususnya komuniti ASAR untuk melakukan aktiviti bermanfaat, menyemai minat melakukan aktiviti kesenian, membentuk keyakinan diri selain menonjolkan adat Perpatih kepada masyarakat umum. Sebahagian keuntungan daripada jualan tiket teater ini akan disalurkan kepada tabung pendidikan anak-anak ASAR dan individu yang memerlukan,\u201d ujar Profesor Madya Dr. Ahmad Rashidi Hasan.\nTeater Tanjong mengisahkan krisis yang dilalui apabila Bugis dan Belanda menyerang Johor sehingga mengakibatkan Dato\u2019 Penghulu Luak Tanjong, Tok Nagho terpaksa berlayar ke Minangkabau untuk memohon perlindungan daripada Kesultanan Pagaruyung. Sewaktu ketiadaannya di Johor, Tok Nagho melantik anaknya, Baroq memegang tampuk kepimpinan sebagai penghulu dan meminta Anjang, rakan karib Baroq dan bakal menantunya untuk menjaga perilaku ketika bersama dengan anak perempuannya, Tanjong.\nWalau bagaimanapun, sewaktu dalam perjalanan ke Minangkabau, Tok Nagho menghembuskan nafasnya yang terakhir dan sekali gus menyebabkan kekosongan tampuk pemerintahan. Berdasarkan adat Perpatih, tampuk pemerintahan seterusnya perlu diserahkan kepada Tok Pedano, namun Baroq tidak mahu akur dengan aturan adat Perpatih dan mahu terus memegang kuasa pemerintahan. Krisis perebutan tampuk kepimpinan ini mengakibatkan perselisihan faham dan pertumpahan darah di Luak Tanjong.\nApakah kesudahannya? Adakah Tok Pedano berjaya memegang tampuk pemerintahan Luak Tanjong atau Baroq berjaya merampas kuasa? Jom bersama-sama kita saksikan teater Tanjong di Istana Budaya pada 9 hingga 11 September 2022.\nMengenai Pementasan Teater Tanjong \nTeater Tanjong merupakan sebuah karya teater terbitan Kelab Teater ASAR Negeri Sembilan. Tiada siapa menyangka, Kelab Teater ASAR Negeri Sembilan yang pada mulanya hanya sebuah kelab teater kecil di pekan Kuala Pilah dan digerakkan oleh para ibu bapa pelakon dan ahli keluarga yang terlibat dalam pementasan teater bakal mementaskan sebuah teater tentang adat Perpatih di pentas teater berprestij di Malaysia, iaitu Istana Budaya.\nPementasan teater ini melibatkan 150 tenaga kerja yang terdiri daripada pelakon, pemuzik, penari, pesilat, petugas belakang tabir, penata cahaya, pereka kostum, penata rias serta pengurus pentas. Teater ini juga disertai oleh 12 orang siswa dan 28 orang murid sekolah rendah dan sekolah menengah.\nPementasan teater Tanjong mendapat sokongan penuh daripada pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC). MOTAC menganugerahkan Geran Padanan Seni dan Budaya bagi menjayakan pementasan teater Tanjong di Istana Budaya kepada Kelab Teater ASAR Negeri Sembilan. Pementasan teater ini juga mendapat kerjasama dan sokongan daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato\u2019 Eddin Syazlee Shith, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Yayasan Budi, Mycreative, Cendana dan Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA)." "Pameran Seni WahLukis @ Blanc Menonjolkan Hasil Seni Bakat Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nPulau Pinang \u2013 Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan mencemar duli merasmikan Pameran Seni WahLukis @ Blanc di Macalister Mansion, Pulau Pinang. Ketibaan baginda berdua disambut oleh Presiden Soroptimist Antarabangsa Pulau Pinang (SI Penang), Harriet Lim, Jack Wong dan Linn Wong.\nSI Penang menganjurkan pameran seni ini untuk mengumpulkan dana buat tabung pendidikan yang berfungsi untuk membantu membiayai kos pendidikan mahasiswa-mahasiswa di Malaysia dalam menamatkan pendidikan mereka.\nPihak penganjur percaya bahawa dengan pendidikan yang sempurna, setiap pelajar boleh mendapat pekerjaan yang lebih baik dan seterusnya dapat membantu, menjaga serta memajukan keluarga mereka.\nSI Penang amat menyokong kegiatan seni para artis dan bakat tempatan. Pameran Seni WahLukis @ Blanc bertujuan untuk menonjolkan para artis yang kurang dikenali dan baharu sahaja memulakan kerjaya seni dalam bidang lukisan selepas tamat tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang panjang pada tahun 2021. Justeru, pelbagai hasil pameran seni tersebut akan disumbang kepada SI Penang sebagai tanda penghargaan.\nSI Penang yang ditubuhkan pada tahun 1921 terdiri daripada kumpulan global yang mempunyai ahli seramai 82 000 wanita dari 126 buah negara yang bekerja untuk mendidik, memperkasakan wanita serta memajukan kehidupan dari segi kewangan dan sosial. SI Penang merupakan satu daripada 16 kelab Soroptimist Antarabangsa yang terdapat di Malaysia.\nTurut hadir dalam majlis pameran seni tersebut ialah Yang Amat Mulia (YAM) Tuanku Sharifah Farah Adriana Jamalullail, YAM Tuanku Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail serta Konsul Jeneral Indonesia bagi negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, Bambang Suharto dan isteri." "Festival Jelajah Kampung Seberang Ramai Mengeratkan Ukhuwah Institusi Diraja dengan Rakyat\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Perlis \u2013 Festival Jelajah Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis yang diadakan di Dataran Semarak Projek Transformasi Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai, Kuala Perlis berlangsung dengan jaya dan meriahnya.\nFestival yang dianjurkan oleh Encomas Sdn. Bhd. dan Caffe Diem ini menyediakan pelbagai aktiviti dan acara untuk tatapan para pengunjung yang hadir. Antaranya termasuklah nyanyian santai Kaixin, pertandingan tarik tali di Taman Puteri Khatreena, Kumpulan Marhain Busking, pertandingan muboi pukat di Pelantar Seberang Alor, Kamarul & Shin Busking, Chot Geliga Busking, pertandingan gelung rotan di Kampung Hujung Tanjung, Busking Streetsax, pertandingan pakaian beragam di Anjung Diraja, Pekola Busking dan diakhiri dengan pertandingan karaoke serta Jem Session Busking.\nKeberangkatan tiba Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda, Yang Amat Mulia (YAM) Tuanku Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail pada jam 6.15 petang merupakan kemuncak festival ini.\nBaginda DYTM Raja Muda Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis yang diiringi oleh Pengarah Urusan Encomas Sdn. Bhd. dan Caffe Diem, Datuk Rick Cheng Wooi Seong berkenan menyaksikan persembahan alat muzik tradisional, tarian canggung, silat dan kumpulan hiburan jalanan." "Sudirman dalam Kenangan\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Pameran khas \u201cWarisan Sudir: Tribute kepada Penghibur No. 1 Asia\u201d yang diadakan dari 12 Ogos hingga 30 September 2022 di Galeri Sudirman, Tingkat 2, pusat membeli-belah Fahrenheit88, Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Pameran tersebut merupakan pameran terbesar yang pertama tentang penyanyi legenda Allahyarham Dato\u2019 Sudirman Haji Arshad di Malaysia.\nDibuka setiap hari bermula pukul 11 pagi hingga 10 malam, pameran anjuran Kamura Trendsetter Park Here dan Sudirman Asset Management dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia (ANM), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Fahrenheit88 ini mempamerkan pelbagai koleksi asli Dato\u2019 Sudirman Haji Arshad daripada ANM, kecuali baju bendera Malaysia terpanjang yang hanya sebagai replika untuk tontonan pengunjung.\nBaju asal bendera tersebut berukuran 120 meter panjang dipakai oleh Dato\u2019 Sudirman semasa majlis penutupan Sukan SEA ke-15 pada 31 Ogos 1989 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.\nAntara barang menarik yang dipamerkan termasuklah basikal tua yang digunakan oleh Dato\u2019 Sudirman semasa penggambaran video muzik lagu Hidup Sederhana (Basikal Tua) bersama-sama Allahyarhamah Yusni Jaafar, 153 buah lukisan animasi Dato\u2019 Sudirman yang disiarkan dalam media cetak dan media massa terbitan Kumpulan Media Karangkraf, baju Melayu songket yang digayakan oleh Dato\u2019 Sudirman semasa sesi fotografi bagi majalah URTV edisi khas Aidilfitri 1991, dan koleksi kaca mata hitam yang selalu dipakai oleh beliau semasa membuat persembahan.\nSelain itu, terdapat trofi Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM) semasa acara AIM tahun 1993 sebagai menghargai sumbangan Dato\u2019 Sudirman dalam industri muzik tanah air, koleksi songkok dan kain untuk persembahan, koleksi kaset dan piring hitam lagu-lagu Dato\u2019 Sudirman, koleksi kasut, tanjak, keratan akhbar dan majalah, serta poster biografi dan pengiktirafan sebagai penghibur terbaik Asia.\nDi samping itu, pakaian-pakaian yang pernah pakai dipakai oleh Dato\u2019 Sudirman semasa membuat persembahan-persembahan turut dipamerkan dalam pameran ini berikutan nama beliau yang terkenal sebagai ikon patriotik negara dan ikon fesyen Malaysia pada era itu.\nPerasmian pameran khas \u201cWarisan Sudir: Tribute Kepada Penghibur No. 1 Asia\u201d disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang dan Tengku Mahkota Pahang, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri\u2019ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.\nTurut hadir ialah kakak dan anak saudara Allahyarham Dato\u2019 Sudirman, iaitu Datin Rodziah Arshad dan Razman Azrai Dato\u2019 Zainudin (Atai).\nSelain menurunkan tandatangan sebagai tanda minat dan kehadiran, para pengunjung pameran juga boleh membeli pelbagai cenderamata yang dihasilkan oleh Kamura Trendsetter Park Here." "\u201cPekan Kecil Kampung Terpencil\u201c Adaptasi Pantun kepada Media Baharu\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Masih lagi kita semua mengenangkan saat-saat yang amat membanggakan apabila Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi Jabatan Warisan Negara (JWN) mengumumkan bahawa warisan pantun milik kita bersama-sama di alam Melayu ini dikategorikan dalam Senarai Wakil Pertubuhan Pendidikan, Santifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan pada tahun 2020. Sejak itu, pantun menjadi elemen warisan yang penting dalam apa-apa sahaja keraian berbentuk lisan oleh rakyat Malaysia tanpa mengenal latar belakang masyarakat.\nPantun ibarat pengukuh jiwa yang saling terpatri erat antara satu sama lain, seperti pantun itu sendiri. Jika pincang pembayang dan tersasar maksud, maka hilanglah juga seni dan falsafah yang ada pada pantun, begitu juga perlambangan perpaduan dan utuhnya kasih sayang rakyat Malaysia.\nMenyedari hal ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus berkreativiti dalam menganjurkan program atau aktiviti berkaitan pantun. Bukan sahaja membabitkan pertandingan berbalas pantun, bahkan pantun juga dijadikan poster yang segar dan relevan serta kena pada tempat dan isu semasa apabila dipaparkan menerusi media sosial DBP Malaysia.\nBerdasarkan rekod, pantun semakin tular disebabkan oleh paparan DBP yang mendapat 3.6 juta reaksi di Internet dan sejak itu, pantun-pantun yang dikongsikan oleh DBP sentiasa mendapat perhatian masyarakat. Paling menarik, DBP juga membuktikan bahawa pantun-pantun tersebut mempunyai rujukan yang sahih serta bukanlah sengaja direka-reka. Lantaran itu, pengikut media sosial DBP turut meraikan kemeriahan aktiviti pantun ini dan membalas komen-komen daripada masyarakat dalam bentuk pantun. Pembudayaan pantun yang sentiasa subur dan hidup dalam arena media sosial DBP menjadikan poster-poster pantun turut mendapat liputan pelbagai media arus perdana.\nHadir dengan inovasi yang akan memberikan impak kepada masyarakat, DBP sekali lagi meneguhkan sinergi pintar dengan Unit Drama TV, Radio Televisyen Malaysia (RTM). Menurut Tuan Haji Mohd. Salahuddin Mohamed, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, melalui pendekatan ini, DBP akan bersama-sama meraikan pantun diadaptasi dalam media baharu serta media yang lebih dekat dengan penonton di samping kreativiti karya dan visual digabungkan untuk menghasilkan karya yang dinamik sifatnya. Justeru, pantun atau sebarang karya sastera dapat sampai kepada khalayak yang lebih luas dan dihargai oleh semua golongan masyarakat khususnya generasi muda pada zaman ini.\nTuan Haji Mohd. Salahuddin menjelaskan bahawa adaptasi ini dijayakan berdasarkan empat buah buku pantun terbitan DBP, iaitu buku Kurik Kundi Merah Saga, Kumpulan Pantun Melayu, Kalong Bunga Zaaba, dan Hati Mesra: Pantun Melayu Sebelum 1914. Pantun diadaptasi kepada drama 10 episod bersempena Hari Kebangsaan tahun ini yang bertajuk Pekan Kecil Kampung Terpencil arahan Wan Afzam Wan Daud. Drama tersebut membariskan para pelakon terkenal seperti Raja Emma, Norkhiriah, Bell Ngasri, Mubarak Majid, Mas Anizan, Che Kem, Rosnah Johari, Tan Mei Ling, Ratna Gowri Raman, Ruby Oii dan lain-lain. Drama tersebut boleh ditonton melalui saluran televisyen TV1, pukul 10:00 malam bermula pada 22 hingga 31 Ogos 2022.\nSeperti teguhnya pantun yang dilafazkan sejak turun-temurun walaupun melalui pelbagai perubahan dan zaman, pantun tetap teguh sama ada empat, enam, lapan, dua belas mahupun enam belas baris. Di samping itu, pantun juga tetap teguh dengan pembayang yang mempunyai tahap pemikiran yang tinggi serta mempunyai maksud yang tersirat dan mendalam. Mungkin dengan perlambangan pantun inilah masyarakat dapat menyerap semangat yang sama dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini, iaitu Keluarga Malaysia Teguh Bersama. Selamat Hari Kebangsaan ke-65 kepada seluruh Keluarga Malaysia! Pantun kekal bersemi dalam hati kita semua!\nSINOPSIS: Pekan Kecil Kampung Terpencil merupakan drama berepisod sempena Hari Kebangsaan 2022 yang diadaptasi daripada pantun melalui kerjasama antara Unit Drama TV dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. Drama ini mengisahkan konflik masyarakat yang berlaku di sebuah kampung terpencil yang aman dan damai selepas kepulangan \u201cDara\u201c setelah lama meninggalkan kampung. Seluruh penduduk kampung berusaha untuk menyatukan Dara (heroin) dengan Wadud (hero) bagi menamatkan epik percintaan mereka berdua. Dalam usaha menyatukan pasangan ini, tercetus bermacam-macam konflik serta pelbagai rahsia mula terbongkar." "Sekolah di Sarawak Dipilih sebagai Perintis Projek Batik Canting\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSimunjan \u2013 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui program Studio Kraf Kreatif, Pusat Kecemerlangan Kraf di Institut Kraf Negara (IKN) memilih dua buah sekolah di daerah Simunjan, Sarawak untuk dijadikan sebagai projek perintis bagi aktiviti mewarna batik canting sebagai usaha memupuk minat kanak-kanak agar mencintai seni kraf.\nMenteri MOTAC, Yang Berhormat (YB) Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri berkata, dua buah sekolah yang dipilih sebagai projek perintis bagi aktiviti mewarna batik canting dalam program ini adalah Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa, Simunjan dan Sekolah Kebangsaan Abang Man, Simunjan.\nTambah beliau lagi, sebagai permulaan, pihak MOTAC telah menyumbang kit mewarna batik canting kepada 200 orang pelajar di kedua-dua sekolah tersebut.\n\u201cPemberian kit mewarna batik canting ini bertujuan untuk memberi pengetahuan dan pendedahan berkaitan teknik, bahan dan proses asas dalam penghasilan produk kraf tempatan pada peringkat akar umbi khususnya kepada pelajar sekolah rendah dan menengah,\u201d ujar YB Dato\u2019 Sri Hajah Nancy Shukri.\nSemoga dengan pemberian kit ini, para pelajar akan lebih mencintai produk kraf Malaysia dan seterusnya bakal menjadi pelapis dalam pembangunan industri kraf pada masa depan.\nDalam majlis yang sama, seramai 26 orang wakil usahawan daripada 1097 perusahaan layak menerima insentif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) Industri Kraf hadir menerima bantuan berjumlah RM1500. Insentif tersebut bertujuan untuk membantu memulihkan perniagaan para usahawan kraf bagi merancakkan semula industri kraf negara yang terjejas akibat penularan wabak pandemik COVID-19.\nInsentif Pemulih Industri Kraf yang mula diberikan sejak bulan April 2022 dijangka memanfaatkan sejumlah 6000 orang usahawan kraf di seluruh negara.\nMOTAC berharap dengan inisiatif dan insentif yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi komuniti kraf tempatan yang seterusnya membantu memperkasa ekosistem industri pelancongan negara." "\u201cAnugerah Perdana: Tokoh Penulis Diraja\u201c Bukti Keintelektualan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSerdang \u2013 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana: Tokoh Penulis Diraja oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) atas terbitan buku baginda yang berjudul Striving for Inclusive Development: From Pangkor to a Modern Malaysian State.\nAnugerah berprestij tersebut disampaikan oleh Pro-Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Emeritus Datuk Dr. Muhamad Zohadie Bardaie dalam majlis yang berlangsung di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM pada hari ini. Berdasarkan kenyataan UPM, Anugerah Buku Negara diwujudkan bagi mengiktiraf kecemerlangan kualiti sesuatu buku dan penerbitan.\nMenurut titah DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, buku Striving for Inclusive Development: From Pangkor to a Modern Malaysian State yang diterbitkan oleh Oxford University Press memaparkan penemuan kajian mengenai pencapaian kemajuan Malaysia berdasarkan analisis komprehensif pelbagai data ekonomi dan sosial dalam tempoh 150 tahun yang bermula daripada Perjanjian Pangkor yang termeterai pada tahun 1874.\n\u201cPenyelidikan, kajian dan analisis yang dilakukan mengambil masa hampir 20 tahun dan melibatkan proses kerja yang sangat mencabar untuk mendapatkan data-data yang tersimpan di pelbagai tempat dan dalam bentuk rekod yang tidak seragam. Hal ini disusuli dengan proses memilih, menapis, menyelaraskan dan menyeragamkan maklumat serta data yang dikumpulkan,\u201c titah DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.\nBerdasarkan titah DYMM baginda, melalui hikmah kebijaksanaan pemimpin terdahulu yang mengasaskan kemerdekaan negara, elemen yang pelbagai itu berjaya digabungkan dan dicantumkan. Lalu dibina tenaga dan kekuatan, menyusun gerakan dan tuntutan sehingga berjaya tertubuhnya sebuah negara merdeka Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957 dan disusuli dengan penubuhan Malaysia pada tahun 1963, yakni sebuah negara yang aman lagi tenteram serta makmur lagi sejahtera.\nDYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut bertitah bahawa Malaysia akan dilimpahi kecemerlangan jika setiap rakyat saling mengamalkan perkara yang makruf, memerangi kemungkaran serta berpendirian bahawa Malaysia akan lebih gemilang jika setiap rakyat diberi peluang yang saksama untuk menikmati faedah daripada pembangunan negara.\nJelas titah DYMM baginda, menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-65, semua pihak wajar bermuhasabah diri masing-masing supaya tidak melakukan sebarang perkara yang boleh menyebabkan kemurkaan Allah SWT serta tidak alpa dengan kejayaan yang dinikmati selama ini.\nSemua pihak perlu sedar dan menerima hakikat bahawa kejayaan Malaysia selama ini adalah hasil daripada usaha setiap rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, yang menganut pelbagai agama, pelbagai latar belakang budaya dan bertutur dalam pelbagai jenis bahasa. Kepelbagaian ini hendaklah dilihat sebagai aset yang wajib diharmonikan untuk membina khazanah kekayaan negara dengan mengamalkan budaya keterangkuman atau inclusiveness sehingga terbina dan terbentuk warga yang kukuh bersatu padu dalam kepelbagaian (unity in diversity)\nMenurut Pengerusi Lembaga Pengelola YPBN, Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, buku Striving for Inclusive Development: From Pangkor to a Modern Malaysian State merupakan kajian paling komprehensif mengenai transformasi ekonomi dan sosial Malaysia sepanjang 150 tahun yang lalu serta menjelaskan bahawa Malaysia masih menghadapi cabaran besar dan kompleks.\n\u201cBuku DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ini berdasarkan data fakta, dokumen arkib serta penyelidikan negara dan antarabangsa yang komprehensif secara terperinci di samping perjalanan sejarah Malaysia yang menarik, bermula daripada pemeteraian Perjanjian Pangkor pada tahun 1874 dan zaman pendudukan British sehingga kini,\u201d ujar Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar.\nJelas beliau lagi, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mencungkil akar sebenar pembangunan ekonomi dan sosial Malaysia, modal insan, kesejahteraan rakyat, serta struktur ekonomi melalui isi buku tersebut. Selain itu, buku tersebut turut meliputi kaedah-kaedah British menubuhkan institusi untuk pengembangan perdagangan bijih timah dan getah yang menguntungkan serta menggalakkan kemasukan buruh luar untuk menyokong cita-cita ekonomi mereka.\nRentetan tercetusnya Perang Dunia II dan pendudukan Jepun di Tanah Melayu memaksa British untuk memikirkan semula strategi mereka untuk Tanah Melayu yang sering mengalami peristiwa bergolak sehingga pembentukan Malaysia pada tahun 1963.\n\u201cBuku ini diakhiri dengan penilaian dan pandangan yang jauh ke hadapan terhadap cabaran-cabaran negara serta penetapan visi DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk masa depan Malaysia yang inklusif dan mampan,\u201d kata Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar mengakhiri bicara.\nTurut hadir memeriahkan majlis ialah Naib Canselor UPM, Profesor Dato\u2019 Dr. Mohd Roslan Sulaiman, Sasterawan Negara, Dato\u2019 Rahman Shaari, Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Muhamad Zain Musa dan Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden Dan Komunikasi, Dr. Halis Azhan Mohd Hanafiah." "DBP Rangkul Anugerah Perdana: Penulis Buku Ilmiah Diraja\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nSerdang \u2013 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berjaya merangkul Anugerah Buku Negara, kategori Anugerah Perdana: Penulis Buku Ilmiah Diraja melalui buku Yang di-Pertuan Agong: Kedaulatan, Prerogatif dan Amalan tulisan Datuk Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain dalam Majlis Anugerah Buku Negara yang berlangsung di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) bersempena Ekspo Buku Malaysia dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022.\nKemenangan ini secara tidak langsung mengangkat DBP sebagai antara penerbit yang prolifik dalam industri penerbitan negara, di samping dapat meningkatkan motivasi kepada para penulis dan para editor untuk bekerjasama menghasilkan pelbagai karya buku yang berkualiti.\nAnugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Yang Berhormat (YB) Dato\u2019 Seri Mahdzir Khalid. Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, usaha Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) bersama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam memperkasakan usaha memajukan industri buku untuk mengukuhkan aktiviti dan program bagi mencapai carta UNESCO merupakan satu langkah yang dinamik dan efisien.\n\u201cProgram seperti ini umpama tulang belakang yang memberi dokongan dan semangat untuk melestarikan sistem pendidikan negara. Saya menyokong penuh usaha murni YPBN dan UPM yang menjadikan ekspo dan persidangan ini sebagai satu wadah ke arah memajukan ilmu pengetahuan dan rangkaian industri buku,\u201d ujar Dato\u2019 Seri Mahdzir Khalid.\nDato\u2019 Seri Mahdzir Khalid turut berkata, tema ekspo dan persidangan ini selari dengan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama Keluarga Malaysia untuk memajukan institusi pendidikan ke arah merealisasikan aspirasi negara. Pembinaan tamadun bangsa bakal terbentuk apabila industri buku, industri kreatif, kelab penulisan dan pengajian tinggi diberikan peranan yang besar menerajui peradaban dan pemikiran masyarakat.\nMenurut Pengerusi Lembaga Pengelola YPBN, Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, kerjasama dan kesepakatan sangat perlu bagi memastikan hasrat membudayakan semangat cinta terhadap buku ilmiah terus membara. Pada masa yang sama, penyampaian Anugerah Buku Negara kepada penggiat penulis buku dan kreatif merupakan pengiktirafan kepada mereka yang berjaya menghasilkan karya yang bermutu tinggi.\nBuku Yang di-Pertuan Agong: Kedaulatan, Prerogatif dan Amalan merupakan perbahasan yang mengulas prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang sering dilaung-laungkan oleh banyak pihak. Satu aspek yang tidak kurang pentingnya dalam huraian buku ini ialah fungsi kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman di bawah Perlembagaan Persekutuan yang bersumberkan prinsip kedaulatan Yang di-Pertuan Agong.\nDaripada prinsip kedaulatan baginda, maka lahirlah prerogatif, yakni kuasa dan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong. Prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dihuraikan secara tuntas sekiranya perbincangan dengan berlatarbelakangkan kedaulatan Raja-raja Melayu dilihat dari perspektif watan.\nMenurut editor buku tersebut, Norhanifah Mohamed, kekuatan buku Yang di-Pertuan Agong: Kedaulatan, Prerogatif dan Amalan berpaksi pada kerangka watan yang digunakan dalam membicarakan setiap subjek berkaitan. Legitimasi kerangka watan diajukan untuk menjustifikasikannya sebagai satu kaedah penafsiran berwibawa bagi menghuraikan kedaulatan dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam Perlembagaan Persekutuan. Lanjutan itu, amalan pemerintahan dibahaskan untuk membuktikan bahawa syura dalam bentuk Rulers-in-Council adalah berprinsipkan raja berperlembagaan yang diwarisi daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka.\nDalam majlis yang sama, Dato\u2019 Seri Mahdzir Khalid dinobatkan sebagai penerima Anugerah Buku Negara, kategori Anugerah Perdana: Tokoh Ilmuan Negara UNESCO. Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola YPBN, Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar.\nTurut hadir bagi memeriahkan majlis tersebut ialah Naib Canselor UPM, YH Profesor Dato\u2019 Dr. Mohd Roslan Sulaiman, Pengerusi Program Ekspo Buku Malaysia 2022 dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan dan Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Dr. Ahmad Ibrahim." "Perkembangan Perahu Melayu Sejak Zaman Bahari\n\nUntuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram\nKuala Lumpur \u2013 Program bicara Tanah Air \u2013 The Malay Maritime Civilization Project anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melalui International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) yang bermula pada bulan Ogos 2021 hingga bulan Disember tahun ini menampilkan para sejarawan dari Malaysia dan negara jiran. Program bicara ini diadakan bertujuan untuk menyingkap sejarah peradaban maritim Tanah Melayu.\nSiri syarahan ke-10 program bicara ini diadakan pada 24 Ogos 2022 secara langsung melalui platform Youtube ISTAC TV dan disampaikan oleh Dr. Ahmad Jelani Halimi, Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia cawangan negeri Perak dengan tajuk Perkembangan Perahu-perahu Melayu Sejak Zaman Bahari. Beliau telah menulis 10 buah buku serta pernah menerbitkan 50 artikel yang berkaitan dengan undang-undang laut Melayu dan sejarah Islam.\nDr. Ahmad Jelani memulakan syarahan tersebut dengan penerangan berkaitan asal-usul kawasan Tanah Melayu sekitar 25 000 tahun dahulu sewaktu bangsa Melayu masih belum wujud lagi. Setelah kawasan Sunda tenggelam pada 3000 hingga 4000 tahun yang lalu, maka bermulalah migrasi manusia termasuklah etnik Melayu yang memilih untuk tinggal di sekitar kawasan persisiran pantai.\nBangsa Melayu sangat sinonim dengan perahu kerana mereka tinggal di dalamnya dan menjadikannya sebagai rumah. Justeru, terdapat satu bidalan yang menggambarkan keadaan tersebut, iaitu \u201cMelayu adalah mereka yang tidak akan berjalan kaki selagi perahu mereka boleh sampai, tidak akan berumah di tanah kering selagi ada tanah berpaya.\u201d Dr. Ahmad Jelani memberi perumpamaan tentang pemilikan perahu oleh bangsa Melayu ketika itu adalah seperti motor kapcai pada zaman kini dengan hampir setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya satu motor kapcai.\nBangsa Melayu juga tidak kenal tentang pertanian sehingga bangsa asing sampai ke alam Melayu. Bangsa Melayu menetap di kawasan air, iaitu di laut, kuala, tasik dan paya sehingga wujud satu istilah \u2018tanah air\u2019, iaitu sesuatu wilayah yang merangkumi tanah dan air. Laut dan selat bagi bangsa Melayu yang memiliki perahu tidak dilihat sebagai sempadan, malah menjadi jalan penghubung untuk orang Melayu merantau pada ketika itu.\nBagi meluaskan dan mempercepatkan perkembangan tamadun dunia, orang-orang Barat dan Timur pada ketika itu mencipta peralatan pengangkutan untuk berhubung dari satu tempat ke tempat yang lain seperti roda dan menggunakan bantuan haiwan seperti gajah dan lembu untuk mengangkut barang. Namun begitu, ciptaan tersebut tidak praktikal dengan keadaan tanah dan hutan tebal yang didiami bangsa Melayu. Oleh hal yang demikian, mereka lebih fokus memikirkan kaedah untuk menghadapi gelombang dan badai serta memikirkan sesuatu yang boleh mengapungkan mereka di atas air. Hasilnya, pada peringkat awal, terciptalah rakit yang berfungsi sebagai peralatan dan kenderaan asas untuk mereka bergerak dan mengapung di atas air bagi jarak dan masa yang singkat.\n\nMenurut Dr. Ahmad Jelani, ciptaan tersebut kemudiannya berevolusi menjadi perahu dan seterusnya dipasangkan layar untuk mengendalikan angin dan ombak bagi membantu mereka bergerak dengan lebih jauh. Pada awal abad Masihi, perahu yang paling besar merentasi Laut China Selatan dan Laut Andaman dikuasai oleh perahu-perahu orang Melayu dan bangsa Melayu menjadi orang tengah bagi tujuan perhubungan dan perdagangan.\nSeterusnya, Dr. Ahmad Jelani menerangkan tentang jenis-jenis perahu, saiz dan kegunaannya yang berbeza-beza. Bermula dengan penciptaan perahu kulit yang diperbuat daripada kulit pokok meranti, kemudian perahu lesong atau perahu korek dicipta setelah orang Melayu mempunyai alatan kerja yang lebih keras seperti kapak dan beliung. Rentetan itu, tercipta pula perahu jalur yang diperbuat daripada kulit dan papan serta boleh digunakan untuk mengangkat barangan. Bagi menjadikan saiz kapal lebih besar, perahu lesong disambung dan dinaikkan ke atas kapal dan hasilnya terciptalah kapal jong.\nPerahu-perahu dicantumkan menggunakan satu papan ke atas satu papan yang lain menggunakan pasak kayu. Orang Melayu tidak menggunakan besi pada ketika itu kerana mereka menganggap penggunaan besi pada kayu perahu akan menyebabkan perahu mudah terbakar. Sebaliknya mereka lebih memilih pasak kayu kerana kulit kayu akan mengembang apabila terkena air dan dapat mengelakkan air masuk ke dalam kapal.\nSebelum perahu China dan India sampai ke alam Melayu, perahu-perahu Melayu telah terlebih dahulu menjelajahi pelabuhan-pelabuhan mereka. Orang Cina dan India mengatakan perahu-perahu tersebut begitu besar melebihi 60 meter dan boleh memuatkan penumpang dan awak-awak seramai 600 sehingga 1000 orang serta kargo melebihi berat seribu tan. Perahu-perahu tersebut dibuat di selatan Myanmar dan Jawa Timur kerana di Selat Melaka tidak terdapat kayu keras yang diperlukan untuk membina perahu.\n\n\u201cOrang Barat dan orang Cina berpendapat bahawa layar bagi kapal-kapal Melayu diperbuat daripada daun palma, nipah, kelapa atau mengkuang, tetapi sebenarnya layar kapal-kapal Melayu diperbuat daripada ijuk kerana daun tersebut tidak kuat dan mudah reput. Ijuk pula diperoleh daripada pohon rembia yang merupakan makanan ruji orang Melayu pada zaman itu sebelum menanam padi setelah ketibaan para pedagang China ke alam Melayu. Layar yang diperbuat daripada ijuk akan menggelembung apabila terkena angin dan menjadikan sesebuah kapal lebih kuat dan selamat untuk dibawa berlayar,\u201d ujar Dr. Ahmad Jelani.\nBermula pada abad ke-8, kapal-kapal besar sudah tidak digunakan secara meluas. Kemudian orang Melayu mencipta kapal-kapal yang lebih kecil bersaiz 30 meter. Kapal-kapal tersebut dilihat banyak berlayar ke kepulauan Sulawesi, Timur dan Nusa Tenggara untuk mengambil barang dagangan dan dikumpulkan di pelabuhan seperti Palembang sebelum berlayar ke Singapura, Brunei dan Makassar pada abad ke-14 dan ke Melaka pada abad ke-15.\nJelas Dr. Ahmad Jelani, pelabuhan utama menjadi tempat longgokan barang dan tumpuan kapal-kapal dari Timur dan Barat. Manakala perahu-perahu orang Melayu berevolusi bukan sahaja mengikut keperluan semasa, bahkan berdasarkan daya cipta masyarakat tempatan.\nPada akhir syarahan beliau, Dr. Ahmad Jelani menerangkan tentang beberapa jenis kapal, iaitu kapal Lancang yang mempunyai dua kemudi bagi memudahkan pergerakan di kawasan yang berlumpur, berbatu-batu serta di pulau-pulau yang tenggelam dengan dilantik seorang malim secara sementara untuk mengenal pasti pulau-pulau tersebut.\nDr. Ahmad Jelani juga berkata bahawa kapal Jong mempunyai pelbagai bentuk dan saiz seperti Jong Jawa dan Jong Melayu. Perahu besar atau perahu Bidur pula ditiru daripada perahu Pinisi yang dibuat di Terengganu dengan layar hadapannya merupakan layar China dan bukan layar orang Melayu kerana layar orang Melayu mempunyai tanjak. Perahu Pinisi mempunyai tiga layar di hadapan dan bukan perahu Melayu. Pada zaman ini, perahu yang digunakan adalah sangat kecil dan hanya mempunyai satu layar. Penggunaannya juga sangat terhad kerana terdapat medium pengangkutan lain yang semakin berkembang."